Katalog Hansard
[Timbalan Yang di-Pertua [Dato' Dr. Ramli bin Dato' Mohd Nor **mempengerusikan Mesyuarat****]
Timbalan Yang di-Pertua - Dato' Dr. Ramli bin Dato' Mohd Nor
[Membaca doa] Assalamualaikum dan selamat petang Yang Berhormat. Silakan Yang Berhormat.
Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey G. Kitingan - Keningau
Terima kasih
Tuan Yang di-Pertua. Saya ada dua usul
(i) mengenai pembinaan dan penaiktarafan dua jambatan di Keningau iaitu jambatan lintasan sungai di Jalan Luangan, Kampung Samalang, Keningau yang dinyatakan bermula 22 November 2023 dan sepatutnya siap pada 21 Mei 2025; dan
(ii) Jambatan Apin-Apin, Keningau yang dinyatakan sebagai bermula 20 Mei 2024 dan siap pada 19 November 2025 dengan dua lanjutan masa hingga 12 November 2026.
Dan setakat 5 Jun 2026, kedua-dua jambatan masih belum disiapkan dan nampaknya seolah-olah terbengkalai. Ketidaksiapan Jambatan Kampung Samalang tersebut kini menjadi isu hangat dengan pelbagai tuduhan dan tohmahan oleh penduduk tempatan disebabkan oleh kesengsaraan yang mereka hadapi, mereka tidak dapat menggunakan jambatan tersebut. Isu tersebut juga telah dipaparkan di media sosial termasuk di laman web Facebook Sabah Revolusi dan menarik banyak kritikan sehingga Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia atau SPRM digesa membuat siasatan.
Jambatan kedua di Apin-Apin sudah berjalan melebihi dua tahun, tetapi peratusan kerja hanyalah kurang daripada 40 peratus setakat ini. Tempoh tamat adalah kurang daripada lima bulan walaupun dua lanjutan masa telah pun diberikan sehingga 12 November 2026. Jambatan tersebut telah putuskan jalan dan lalu lintas tidak boleh digunakan.
Ramai telah menuding jari kepada Ahli Parlimen iaitu saya mengenai masalah dan kelewatan kerja-kerja kontraktor yang dilantik oleh Kerajaan Pusat sedangkan pihak Kerajaan Persekutuan sendiri hanya berdiam diri dan tidak tampil untuk membuat kenyataan mengenai kelewatan terhadap projek-projek tersebut. Selaku Ahli Parlimen Keningau, saya telah membuat lawatan tidak kurang daripada dua kali tetapi masalah masih berlarutan tanpa penyelesaian.
Kedua-dua jambatan tersebut adalah laluan penting untuk penduduk sekitar Keningau. Jika tidak disiapkan dan keadaan dibiarkan berterusan, ia nya akan menjejaskan lalu lintas dan perhubungan dan kesejahteraan rakyat dan menjejaskan persepsi terhadap Kerajaan Persekutuan.
Oleh demikian, saya amat berharap agar kerajaan dapat mengambil tindakan segera untuk menyiapkan kedua-dua jambatan tersebut demi keselesaan dan kesejahteraan rakyat. Sekian, terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Silakan Yang Berhormat Menteri untuk menjawab.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah - Datuk Hajah Rubiah binti Wang
Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Waalaikumussalam.
Datuk Hajah Rubiah binti Wang
Terima kasih Dato' Yang di-Pertua.
Terima kasih YB Keningau atas soalan yang menunjukkan Yang Berhormat amat prihatin dengan kemudahan infra kawasan luar bandar.
Dato' Yang di-Pertua, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) mengambil maklum akan keperluan untuk menyediakan infrastruktur jalan dan jambatan yang selamat dan berkualiti, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman Sabah. Kemudahan ini amat penting bagi memastikan penduduk mempunyai akses yang lebih baik kepada sekolah, kemudahan kesihatan, pusat ekonomi dan juga pelbagai perkhidmatan asas.
Untuk makluman Yang Berhormat, jambatan yang dirujuk sebagai jambatan lintasan sungai di Jalan Luagan, Kampung Samalang adalah Projek Menaik Taraf Jambatan Sungai Liawan di KM3.40, Jalan Luagan, Keningau, Sabah telah diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas, Rolling Plan Kedua Tahun 2022 dengan kos keseluruhan sebanyak RM4.35 juta.
Skop projek melibatkan pembinaan semula sebuah jambatan sepanjang 40 meter dengan kelebaran 10 meter. Jabatan Kerja Raya Negeri Sabah telah dilantik sebagai agensi pelaksana bagi melaksanakan projek tersebut. Sehingga 30 Jun 2026, kemajuan fizikal sebenar projek telah mencapai 95.6 peratus berbanding jadual 100 peratus, iaitu kelewatan sebanyak 4.4 peratus ataupun 42 hari.
Berdasarkan kemajuan tersebut, projek ini kini disasarkan siap pada Ogos 2026. KKDW juga ingin menjelaskan bahawa projek ini bukan merupakan projek terbengkalai sebagaimana yang didakwa. Sebaliknya, kerja-kerja pembinaan masih diteruskan di tapak dan kini berada di peringkat akhir pelaksanaan.
Kementerian mengambil maklum bahawa kelewatan ini telah menimbulkan keresahan dalam kalangan penduduk serta pelbagai persepsi di media sosial. Justeru, KKDW sentiasa memastikan pemantauan rapi dilaksanakan bersama Jabatan Kerja Raya Negeri Sabah bagi mempercepatkan penyiapan projek ini.
Kelewatan pelaksanaan projek adalah disebabkan oleh beberapa faktor, antaranya kelewatan pembayaran tuntutan interim. Yang kedua, kelemahan pengurusan kontraktor serta faktor cuaca yang telah menjejaskan pelaksanaan kerja di tapak. Pada masa ini, untuk makluman Yang Berhormat, projek berada di peringkat akhir pelaksanaan. Ujian Field Density Test (FDT) bagi lapisan road base telah selesai dijalankan pada 9 Julai 2026 dan kerja-kerja penurapan jalan akan dilaksanakan sebaik sahaja keputusan ujian diperoleh.
Selain daripada itu, kerja-kerja pembinaan gabion bagi perlindungan tebing sungai telah mencapai kira-kira 80 peratus, kerja-kerja sistem saliran telah mencapai 85 peratus, manakala pemasangan penghadang keselamatan
(guardrail) sedang giat dilaksanakan. KKDW bersama JKR Negeri Sabah akan terus memantau pelaksanaan projek ini secara rapi melalui lawatan tapak dan mesyuarat pemantauan berkala bagi memastikan baki kerja dapat disiapkan mengikut jadual yang telah disasarkan.
Kementerian memahami keresahan dan kesulitan yang dialami oleh penduduk setempat akibat kelewatan projek itu. Justeru, KKDW komited untuk memastikan projek ini dapat disiapkan secepat mungkin tanpa menjejaskan aspek kualiti dan keselamatan, supaya jambatan tersebut dapat dibuka kepada pengguna dan manfaatnya dapat dinikmati oleh penduduk setempat dengan segera.
Berhubung Jambatan Apin-Apin, Yang Berhormat ya, projek ini merupakan projek di bawah seliaan — bukan di bawah projek seliaan KKDW. Projek berkenaan adalah di bawah Kementerian Kerja Raya melalui Jabatan Kerja Raya.
Oleh yang demikian, maklumat terperinci berkaitan dengan pelaksanaan, kemajuan projek, punca kelewatan dan tindakan pengurusan kontrak projek tersebut adalah di bawah bidang kuasa Kementerian Kerja Raya. Nanti Dato' Ahmad Maslan jawab.
[Ketawa] Terima kasih Dato' Yang di-Pertua.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Baik Yang Berhormat. Sila tanya soalan.
Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey G. Kitingan - Keningau
Terima kasih Yang Berhormat Menteri. Boleh saya tanya? Oleh kerana kelewatan pelaksanaan projek ini, memang rungutan begitu tebal sekali sehingga mereka mohon untuk diberikan pampasan. Bolehkah kementerian pertimbangkan sesuatu terhadap itu? Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Silakan Menteri.
Datuk Hajah Rubiah binti Wang
Terima kasih Yang Berhormat atas soalan tadi ya berkaitan dengan pampasan. Untuk makluman Yang Berhormat, walaupun projek ini sepatutnya siap sepenuhnya pada tahun 2025 dan diberi apa orang kata EOT — sekali EOT dan dijangka siap Jun 2026, namun tarikh ataupun jangka masa itu masih lagi reasonable berdasarkan — maksudnya bersesuaian memandangkan beberapa faktor yang disebutkan tadi. Maksudnya punca kelewatan itu, punca kelewatan itu masih boleh diterima. Masih boleh diterima dan dalam perhatian kita.
Dan memang jangka masa tu yang masih lagi dalam tempoh berkenaan.
Sebab itulah sepatutnya kita mengenakan LD kepada kontraktor, tetapi apa nama tempoh penyiapan selepas projek disiap adalah dalam tempoh dalam lingkungan 400 hari ya. Dia masih dalam timeframe berkenaan. That’s why kita masih endorse EOT ya untuk menyiapkan projek ini pada Ogos 2026.
Berkaitan dengan pampasan so far dalam perkiraan kita tak ada mempunyai sebarang peruntukanlah untuk memberi apa nama — pampasan ataupun sagu hati Yang Berhormat dalam apa nama — yang ini terpulang kepada apa orang kata budi bicara kontraktor. Jadi, boleh dimohonlah tapi mengikut kerajaan memang tidak adalah peruntukan khas ya. Kalau projek lewat kita kena bagi pampasan dan sebagainya. Tidak kriteria dapat dipertimbangkan.
Cuma atas budi ihsan kalau dimohon. Itu pun atas orang kata keikhlasan pihak kontraktor. Yang ini kita boleh forward kepada kontraktor tapi ihsan dia lah.
Tapi mengikut prosedur kerajaan selagi dia menepati jangka masa, kriteria pelaksanaan projek dan tempoh yang telah ditetapkan ia masih lagi dalam kriteria — dalam tempoh pelaksanaan projek. Terima kasih Dato' Yang di-Pertua.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Silakan Yang Berhormat.
Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey G. Kitingan - Keningau
Terima kasih Dato' Speaker dan terima kasih juga sebentar tadi jawapan daripada Menteri.
Mudah-mudahan boleh menyokong tuntutan pampasan itulah.
Usul yang kedua ini adalah usul mengenai kesesakan lalu lintas yang begitu teruk sekali sehingga kesesakan memakan begitu berjam-jam di bandar Keningau yang berlarutan bertahun-tahun dan telah memberi kesan yang buruk kepada pengguna jalan raya serta penduduk bandar Keningau dan sekitarnya.
Kesesakan buruk tersebut juga telah memberi kesan negatif kepada aktiviti-aktiviti harian termasuklah perniagaan dan menjejaskan ekonomi setempat.
Seterusnya, usul ini meminta peruntukan yang mencukupi dan tindakan yang wajar pada tahun ini atau tahun hadapan untuk menyelesaikan kesesakan ini demi keselesaan dan kesejahteraan rakyat.
Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey G. Kitingan - Keningau
Saya pernah membangkitkan perkara ini tiga tahun yang lalu dan telah mencadangkan beberapa cadangan iaitu pembinaan jalan alternatif, jalan pintas atau bypass dan jejambat.
Antara cadangan-cadangan tambahan yang menyelesaikan atau sekurang-kurangnya mengurangkan kesesakan dan mengurangkan tempoh kesesakan adalah:
(i) membina jejambat pusingan U;
(ii) membuat persimpangan lampu trafik;
(iii) membina laluan jalan pintas alternatif (bypass); dan
(iv) membina jambatan kedua menyeberangi Sungai Pegalan.
Pembinaan jambatan kedua juga menyeberangi Sungai Pegalan ini akan mengurangkan jumlah kesesakan khasnya kenderaan berat yang melalui jalan raya dalam bandar Keningau ke arah Seberang, pekan Tulid, Sook dan daerah Pensiangan dan seterusnya ke Kalabakan dan Tawau.
Satu lagi cadangan yang boleh mengurangkan kesesakan adalah pembinaan jalan raya alternatif untuk menghubungi Tambunan melalui Gunung Trus Madi ke pekan Tulid di Pensiangan. Jalan raya ini akan memendekkan jarak dan masa perjalanan dari Tambunan ke Tulid, Sook dan Pensiangan dan dari Tulid, Sook dan Pensiangan terus ke Kota Kinabalu.
Pembinaan jalan alternatif ini juga akan membuka peluang pelancongan ke Gunung Trus Madi, gunung yang kedua tertinggi di Malaysia bukan sahaja di Sabah sambil membuka penerokaan tanah yang luas dan subur dari Trus Madi ke Tulid. Bandar Keningau adalah bandar terbesar di pedalaman Sabah dan menghubungi Kota Kinabalu dan Pantai Barat sehingga ke Tawau, Kalabakan dan ke sempadan Kalimantan.
Keningau kini sedang membangun dengan pesat dan salah satu akibatnya adalah kesesakan jalan raya yang teruk dengan barisan kereta berkilometer panjang setiap hari. Jika kesesakan tersebut dibiarkan berterusan, ia nya akan menjejaskan pembangunan ekonomi dan kemajuan kawasan pedalaman Keningau, bukan sahaja di bandar Keningau sendiri tetapi di sekitarnya di Pensiangan, di Tulid dan sebagainya. Bukan sahaja di bandar Keningau, malah penyelesaian kesesakan lalu lintas tersebut boleh mempertingkatkan lagi pertumbuhan perniagaan dan ekonomi setempat seperti yang saya katakan tadi.
Oleh yang demikian, rakyat Malaysia di pedalaman Sabah amat berharap agar kerajaan dapat meluluskan peruntukan yang mencukupi dan mengambil tindakan yang secepat mungkin tahun ini atau tahun hadapan dan sebagainya untuk menyelesaikan kesesakan lalu lintas tersebut di bandar Keningau demi keselesaan dan kesejahteraan rakyat. Sekian.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Silakan Yang Berhormat Menteri untuk menjawab.
Timbalan Menteri Kerja Raya - Datuk Seri Dr. Haji Ahmad bin Haji Maslan
Dato’ Dr. Yang di-Pertua, terima kasih kepada Ahli Yang Berhormat Keningau. Semakan kementerian ini mendapati, jalan Keningau ke Kota Kinabalu yang dimaksudkan ialah Laluan Persekutuan 500, Jalan Tambunan – Keningau – Tenom. Manakala jalan dari Keningau ke Tawau yang dimaksudkan ialah Jalan Tawau – Keningau yang merupakan jalan negeri. Saya sudah melalui jalan-jalan ini Yang Berhormat. Saya juga sudah pergi ke pekan Keningau ini beberapa kali.
Jadi saya tahulah apa yang disebut.
Bagi Laluan Persekutuan 500, berdasarkan data bancian lalu lintas 2025, tahap perkhidmatan jalan atau level of service (LOS) di Laluan Persekutuan 500 adalah LOS A. LOS ini ada A, B, C, D, E, F. F itu yang fail, yang paling sibuk macam di Kuala Lumpur, itu F. Tetapi yang ini didapati bahawa LOS ini adalah A stesen banci yang kita gunakan ialah nama stesen banci adalah HR202 yang mana ia nya masih mampu menampung trafik sedia ada. Itu maksud LOS A.
Semakan kementerian ini juga mendapati, satu lagi yang memeranjatkan Yang Berhormat ya, tiada permohonan projek diterima daripada kerajaan negeri di bawah Rolling Plan 1, Rolling Plan 2, Rancangan Malaysia Ketiga Belas bagi pembinaan jalan alternatif, jalan pintas (bypass) dan jejambat di laluan tersebut.
Sehubungan itu, disyorkan supaya cadangan projek tersebut dikemukakan kepada pihak kerajaan negeri melalui UPEN atau JKR Negeri untuk dimasukkan dalam senarai keutamaan negeri dalam rolling plan yang akan datang ini. Ini perkara penting yang perlu dilakukan oleh Yang Berhormat. Ia tidak selesai dengan bertanya soalan di sini. Dia kena dihantar permohonan itu secara rasmi kepada UPEN negeri, barulah UPEN negeri akan buat penilaian, perancangan, pendetilan tentang apa yang dipohon oleh Yang Berhormat.
Kementerian ini akan meneliti cadangan projek ini apabila dimohon oleh kerajaan negeri. Begitulah keadaannya di JKR, kita kena menghormati apa yang dipohon oleh kerajaan negeri dan apa yang menjadi keutamaan kerajaan negeri dan pertimbangan yang sewajarnya untuk diangkat kepada agensi pusat.
Manakala bagi menaik taraf Jalan Keningau – Tawau, berdasarkan data bancian lalu lintas 2025, tahap perkhidmatan jalan Tawau – Keningau adalah LOS E. Ini menunjukkan aliran trafik sesak. Ini satu perkaralah. Jalan Keningau – Tawau memang LOS E, kalau F itu sudah teruk, yang E sedikit lagi teruk. Jalan ini merupakan jalan negeri Yang Berhormat, bukan Jalan Persekutuan. Jadi apabila jalan negeri, yang melaksanakan projek-projek itu ialah JKR negeri, bukan JKR Persekutuan. Kementerian ini mengesyorkan agar cadangan menaik taraf jalan tersebut dirujuk kepada kerajaan negeri bagi mendapatkan maklumat berkaitan perancangan jalan tersebut.
Merujuk kepada cadangan pembinaan jalan alternatif, jalan pintas
(bypass) dan jejambat bagi menghubungkan pekan-pekan di Sabah khususnya Tambunan, Tulid, Sook dan seterusnya ke Trus Madi. Tambunan saya pernah pergi, Tulid saya pernah pergi, Trus Madi, kementerian ini buat masa ini tiada perancangan untuk melaksanakan projek yang dibangkitkan. Cadangan projek yang dibangkitkan akan diteliti pada masa akan datang sekiranya dimohon oleh kerajaan negeri melalui penyelarasan UPEN dan JKR negeri serta dimasukkan dalam senarai keutamaan.
Ini satu lagi Yang Berhormat ya, kalau kita menghantar surat permohonan pada mereka, UPEN dan JKR negeri, pastikan dia berada dalam senarai keutamaan sebab di Sabah ini mungkin ada ratusan projek. Kalau kita hantar projek itu nombor 99, maka projek nombor satu sampai 10 yang dapat. Nombor 99 menunggu giliran yang lambat. Itulah kaedah perjalanan.
Kementerian Kerja Raya sentiasa mengambil berat, memanglah dan memastikan jaringan jalan raya yang selamat, selesa dan berdaya tahan dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Soalan tambahan. Yang Berhormat silakan.
Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey G. Kitingan - Keningau
Terima kasih atas jawapan Menteri. Mungkin lawatan Yang Berhormat tahun lalu kah tiga tahun yang lalu sebab jawapan kepada soalan saya tiga tahun yang lalu sama juga.
Jadi, mohon Yang Berhormat melawat Keningau sekali lagilah. Betul-betul sesak.
Di bandar, kalau jalan Keningau ke Kalabakan itu sesak, apatah lagi di bandar sebab di bandar itu semua sudut daripada Tawau, daripada Tenom dari Tambunan, Kota Kinabalu dan daripada kampung-kampung. Jadi maksud dia lebih sesak lagi di bandar. Jadi, saya mengambil maklum tentang permohonan yang perlu saya buat.
Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey G. Kitingan - Keningau
Dan ada soalan yang saya ingin apa ini — bangkitkan di sini. Satu, bolehkah sebab saya baru kelmarin berhubung dengan JKR di Keningau dan memang ada jalan pintas yang dibuat. Satu sedang akan ditender tidak lama lagi iaitu satu Jalan Durok Bypass, satu Jalan Beriawa tapi ini belum ditender.
Bolehkah ini dipercepatkan dan yang paling penting jambatan kedua untuk melintasi Keningau pergi ke Sook dan Nabawan sebab dengan adanya trafik baharu daripada Kalimantan melalui Pagalungan, trafik ini akan lebih bertambah lagi.
Yang kedua, bolehkah kementerian pertimbangkan untuk memberi peruntukan pada dua jalan di dalam kawasan Keningau tapi ini di daerah Tambunan iaitu satu di Nukakatan, 5.8 kilometer dan yang kedua adalah di Kumawanan 4.8 kilometer. Kedua-dua jalan ini perlu dinaiktarafkan memandangkan kawasan itu adalah kawasan pertanian berbukit-bukau dan perlu untuk mereka membuka tanah buat pertanian dan mengeluarkan hasil dengan lebih selesa. Sebab di kawasan itu selalu tanah runtuh. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Yang Berhormat, silakan.
Datuk Seri Dr. Haji Ahmad bin Haji Maslan
Dato' Dr. Yang di-Pertua.
saya melawat tahun lepas ya. Tahun lepas sambil berkempen PRN negeri. Jadi, sebahagianya saya melawat secara jalan-jalan itu dan sebahagiannya berkempen. Masih belum baik lah, tidak seperti Johor.
Kemudian, jambatan kedua yang ditanyakan kepada saya ini ialah jambatan Kampung Kikiran Apin-Apin menggantikan pembetung pada jambatan kekal jalan Kota Kinabalu–Keningau. Yang ini kita ada EOT antara sebabnya kerana pemindahan utiliti paip air Jabatan Air Sabah.
Kedua, kerana terjejas akibat buruk — cuaca buruk tetapi tarikh siap kita jangka 12 November 2026. Yang ini jambatan. Jalan Nukakatan dan Kumawanan, tempat ini saya belum pergi, Yang Berhormat. Jauh agaknya ya. Jadi, tempat ini tentunya jalan KKDW tetapi jalan KKDW ini ada satu yang ingin buat pengumuman berita baik pada Yang Berhormat bahawa naik taraf jalan Keningau Relief Road — jalan Keningau Relief Road diluluskan sudah ya. Kosnya RM36 juta. Skop projek ini menaik taraf jalan enam kilometer spesifikasi JKR R2 kini dalam peringkat pembinaan dengan kemajuan fizikal di 30 peratus, siap Julai 2028. Ada ni gambar-gambarnya di tangan saya ini.
Kemudian, ada lagi kerajaan negeri Sabah juga melaksanakan kajian Proposed Priority Roads Projects in Keningau di bawah pembiayaan Rancangan Malaysia Kedua Belas bagi mengenal pasti penyelesaian jangka panjang terhadap isu kesesakan lalu lintas di bandar Keningau. Kerajaan negeri telah meluluskan projek jalan bandar relief ini dengan anggaran kos pembinaan kos siling yang diluluskan adalah RM30 juta. Itu satu lagi berita yang saya ingin kongsikan.
Projek-projek lain Proposed Priority Roads Projects in Keningau tertakluk kepada kelulusan peruntukan dari semasa ke semasa tetapi ada kajian projek jalan bandar relief jajaran D, kemudian projek naik taraf jalan Bakiau Bypass jalan Keningau–Nabawan dan jalan Keningau–Kimanis jajaran C. Projek naik taraf Bakiau Bypass jalan Keningau–Nabawan projek membina jalan lintas utara Keningau projek naik taraf jalan Keningau–Nabawan.
Nampak ada banyak projek ini Ahli Yang Berhormat siap 2027, 2028, 2029, 2030. Ini antara apa yang nak dibuat oleh kerajaan oleh kawasan itu. Saya kira ini bawah KKDW Dato' Seri Zahid Hamidi yang mana Timbalannya baru tadi.
Dapatkan segala maklumat-maklumat lanjut itu daripada KKDW sebab jalan ni ada 11 jenis, Dato' Dr. Yang di-Pertua. Ada 11 jenis jalan.
Jadi, sebelas jenis ini tuannya berbeza-beza jalan. Antara contoh jalan persekutuan lebuh raya itu JKR pusat. Kemudian, jalan negeri, JKR negeri sebab JKR negeri tu dia ada elemen pusat dan elemen negeri dalam pejabat JKR negeri itu. Seterunya jalan pertanian, jalan desa, jalan pelancongan, jalan balak, jalan persendirian. Itu di antara tajuk-tajuk jalan yang tuan punyanya berbeza-beza.
Jadi, kita pastikan apa yang kita hantar itu tepat pada tuan punya yang membina jalan-jalan tersebut. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Terima kasih Yang Berhormat Menteri.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Silakan Yang Berhormat.
Tuan Lee Chuan How - Ipoh Timor
Terima kasih Yang di-Pertua. Saya mohon bagi membangkitkan perkara yang penting iaitu kemajuan pelaksanaan memorandum persefahaman (MOU) antara Carester dari Perancis dan Malaco Mining Sdn. Bhd. berhubung pembangunan perlombongan, pemprosesan, penapisan dan rantaian nilai nadir bumi atau rare earth elements di negeri Perak.
MOU ini dimeterai dalam konteks lawatan rasmi Yang Amat Perdana Menteri ke Perancis dan melibatkan kerjasama strategik Malaysia–Perancis dalam sektor mineral kritikal. Dan projek ini merangkumi loji perintis, pemindahan teknologi penapisan, pengekstrakan kimia, hidro metodologi dan pemisahan atau pengasingan unsur nadir bumi. Nadir bumi adalah sektor strategik bagi kenderaan elektrik, tenaga boleh baharu, semikonduktor, elektronik, pertahanan, perubatan dan teknologi tinggi dan macam-macam lagi.
Dan Perak pula mempunyai peluang menjadi pusat rantaian nilai nadir bumi negara, bukan sekadar tapak sumber mentah. Dan dalam keadaan dunia mencari kepelbagaian rantaian bekalan bahan kritikal, Malaysia perlu menyambut peluang ini sejajar dengan pendirian dasar luar negara yang bebas, aktif dan berkecuali atau active neutrality istilah yang digunakan biasanya.
Malaysia wajar menjadi rakan global yang baik dalam agenda mempelbagaikan sumber dan pemprosesan bahan kritikal dunia. Kerjasama dengan Perancis ini, bersama hubungan sedia ada dengan China dan Amerika Syarikat, perlu dilihat secara positif dari sudut geopolitik, dari sudut teknologi, pemindahan kepakaran dan pembinaan kapasiti negara.
Dan sehubungan itu, saya memohon kerajaan memberi sedikit penjelasan:
(i) apakah status terkini pelaksanaan MOU Carester–Malaco sejak ia dimeterai dalam konteks lawatan rasmi Yang Amat Berhormat Perdana Menteri ke Perancis?;
(ii) apakah hasil susulan daripada lawatan dan penglibatan pihak Perancis, termasuk utusan khas mineral kritikal Perancis, terhadap projek nadir bumi di Perak?;
(iii) apakah status sebenar fasa loji perintis atau pilot plant bagi perlombongan dan penapisan nadir bumi?;
(iv) bilakah — apakah garis masa penuh kerajaan untuk mengoperasikan projek ini, termasuk fasa kajian, kelulusan, perlesenan, pembinaan pilot plant, pembinaan loji berskala besar dan operasi komersial?;
(v) apakah status kelulusan berkaitan lokasi projek, sumber bahan mentah, kebenaran perlombongan, penggunaan tanah, penilaian impak alam sekitar, pengurusan sisa dan pematuhan piawaian teknikal?;
(vi) apakah bentuk pemindahan teknologi daripada Carester kepada Malaco dan Malaysia, khususnya dalam bidang pengekstrakan, chemical extraction, hydrometallurgy, refining dan full separation?;
(vii) apakah rancangan kerajaan untuk memastikan projek ini tidak terhenti pada perlombongan, tetapi bergerak ke rantaian nilai lebih tinggi seperti oksida nadir bumi atau rare earth oxide, bahan magnet, magnet manufacturing dan komponen industri hijau?;
Tuan Lee Chuan How - Ipoh Timor
(viii) apakah peranan khusus Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri Perak, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), atau MITI, dan NRES, dan MOSTI dan agensi teknikal dalam menyelaraskan semua kelulusan yang diperlukan supaya projek ini tidak terperangkap atau tersangkut dalam kelewatan birokrasi sekiranya ada tanpa syak wasangka?;
(ix) adakah kerajaan bersedia mempertimbangkan pelantikan seorang utusan khas atau envoy bagi menyelaras dan mempercepatkan kerjasama strategik Carester–Malaco ini? dan
(x) adakah kerajaan bersedia menyambut peranan Kaukus Parlimen Mineral Kritikal sebagai pemudah cara “Track 1.5” dengan izin bagi menyokong penyelarasan, libat urus dan pemantauan projek ini?
Oleh itu, saya memohon perkara ini diberi ruang dalam Kamar Khas supaya kerajaan memberikan penjelasan rasmi mengenai kemajuan, kekangan dan langkah segera untuk mengoperasikan MOU Carester–Malaco di negeri Perak. Sekian, terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Silakan Menteri.
Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam - Tuan Syed Ibrahim bin Syed Noh
Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Waalaikumussalam.
Tuan Syed Ibrahim bin Syed Noh
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Terima kasih Yang Berhormat Ipoh Timor atas soalan. Saya percaya ini adalah minat Yang Berhormat Ipoh Timor juga kerana benar nadir bumi merupakan salah satu sektor strategik masa kini negara dan sudah tentu Yang Berhormat sebagai Pengerusi Kaukus Parlimen Kritikal Mineral juga adalah soalan yang menjadi minat kepada Yang Berhormat. Jadi, ini jawapannya. Ada 10 soalan Dato’ Yang di-Pertua. Jadi, saya akan cuba jawab secepat yang mungkin kepada 10 soalan tersebut.
Pertama, kerjasama strategik antara Caremag SAS, Carester SAS dan Malaco Mining Sdn. Bhd.. Caremag ialah payungnya Carester adalah anak syarikat kepada Caremag. Jadi, ini adalah antara Carester SAS dan Malaco Mining Sdn. Bhd.. Kerjasama ini telah dimeterai pada 4 Julai 2025 di Paris sempena lawatan rasmi YAB Perdana Menteri ke Republik Perancis. Kerjasama tersebut merangkumi pembangunan loji pemisahan unsur nadir bumi (REE), kerjasama teknikal, pembangunan kapasiti serta elemen pemindahan teknologi
(technology transfer) bagi menyokong pembangunan rantaian nilai industri REE di Malaysia.
Sehingga kini, kerjasama tersebut telah berada pada fasa pelaksanaan dan penyediaan keperluan teknikal serta kawal selia, termasuk pembangunan loji dengan kapasiti pengeluaran 3,000 tan matrik setahun pada peringkat proof of concept (POC) iaitu di Gopeng, Perak dengan dana sebanyak USD15 juta daripada pihak Carester.
Soalan kedua ialah berkenaan dengan apakah hasil susulan daripada lawatan dan penglibatan pihak Perancis. Seterusnya, kita juga hendak maklumkan kepada Yang Berhormat ada kunjungan hormat ke atas Yang Berhormat Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam oleh T.Y.T. Nicolas Forissier, Minister Delegate for Foreign Trade and Economic Attractiveness, Republik Perancis telah diadakan pada 8 Julai 2026, baru seminggu yang lalu.
Kunjungan tersebut turut disertai oleh Duta Besar Perancis ke Malaysia, pegawai- pegawai tinggi Kerajaan Perancis, serta delegasi perniagaan Perancis. Dalam hubungan ini, Malaysia dan Perancis sedang memperkukuh kerjasama dalam sektor mineral kritikal, khususnya REE melalui perbincangan teknikal antara NRES dan pihak berkuasa Perancis yang diterajui oleh Interministerial Delegation for the Supply of Strategic Minerals and Metals (DIAMMS).
Pada awalnya, kedua-dua pihak berhasrat untuk memformalisasikan kerjasama ini melalui declaration of intent. Namun berdasarkan semakan perundangan, kerjasama tersebut kini dicadang untuk dimeterai melalui memorandum persefahaman (MOU) antara Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Republik Perancis, yang disasarkan untuk ditandatangani di Malaysia menjelang akhir tahun ini, tahun 2026. Susulan persefahaman yang dicapai antara Presiden Republik Perancis dan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri semasa lawatan rasmi Yang Amat Berhormat Perdana Menteri ke Perancis, pihak Perancis menyatakan komitmen yang tinggi terhadap pembangunan perkongsian strategik antara syarikat Carester dan Malaco.
Dua keutamaan ditekankan adalah pelaksanaan pemindahan teknologi yang menyeluruh bagi proses pemisahan dan pemprosesan REE dan kedua ialah pembinaan kerjasama jangka panjang yang mampan dan saling menguntungkan
(win-win partnership).
Pihak Carester dalam kunjungan tersebut telah menegaskan kesediaan syarikat untuk melaksanakan pemindahan teknologi secara menyeluruh, merangkumi teknologi perlombongan kaedah in-situ leaching (ISL) bagi mengelakkan kejadian tanah runtuh dan pencemaran sistem air bawah tanah, sehinggalah kepada teknologi pemisahan REE di peringkat pertengahan
(midstream). Sebahagian proses akan dilaksanakan di Perancis dan sebahagian lagi di Malaysia bagi menjamin kestabilan rantaian bekalan kedua-dua negara.
Syarikat berkenaan juga menegaskan perjanjian Carester–Malaco merupakan kontrak komersial, yang mana Carester tidak melabur secara langsung dalam aktiviti perlombongan, sebaliknya berkongsi teknologi bagi memastikan operasi lombong mematuhi sepenuhnya piawaian ESG.
Soalan ketiga berkenaan dengan status sebenar fasa loji perintis atau pilot plant. Untuk makluman Yang Berhormat, pembangunan projek yang dicadangkan merangkumi dua komponen utama, iaitu huluan iaitu upstream yang melibatkan pelaksanaan aktiviti perlombongan dan yang kedua adalah pertengahan iaitu midstream yang melibatkan pembangunan loji pemisahan REE (REE separation plant) di Perak. Kerjasama teknikal antara Carester dan Malaco dilaksanakan melalui beberapa siri perbincangan teknikal dan pembangunan projek. Pihak Carester telah sediakan khidmat kepakaran dalam reka bentuk loji pemisahan REE yang sedang dibina menggunakan teknologi Nitrate Route REE Separation yang dimiliki oleh syarikat berkenaan. Pembangunan loji pemisahan tersebut dijangka siap pada September 2026.
Selain itu, pihak Carester turut bekerjasama dengan Bureau of Geological and Mining Research, Perancis bagi menjalankan penilaian terhadap kaedah perlombongan dan aspek environmental, social and governance (ESG) sebagai sebahagian daripada penyediaan pembangunan projek. Bagi menjayakan aktiviti perlombongan, melalui kerjasama tersebut, pihak Malaco pada ketika ini telah memperolehi kebenaran pihak Kerajaan Negeri Kelantan melalui PML1/2025 untuk menjalankan projek perlombongan REE di Gua Musang, Kelantan. Projek tersebut sedang pada peringkat pertimbangan kelulusan terma rujukan bagi kelulusan EIA.
Walau bagaimanapun, kerajaan ingin menjelaskan bahawa pelaksanaan kerjasama tersebut merupakan urusan komersial business-to-business antara pihak-pihak yang terlibat. Jadi bukan antara kerajaan dengan kerajaan, ia adalah pelaksanaan komersial, urusan komersial business-to-business, tetapi semua aktiviti projek tetap tertakluk kepada penilaian teknikal serta proses kelulusan yang ditetapkan oleh pihak Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.
Soalan yang keempat — dia ada 10 ni. Berkenaan dengan garis masa penuh kerajaan untuk operasi projek ini. Suka saya sebutkan garis masa penuh ini adalah garis masa penuh syarikat. Sebagai kerajaan kita hanya cuma pantau, kita hanya cuma melihat dari segi pemudah cara. So, kalau berdasarkan maklumat yang dikemukakan oleh pihak syarikat, pengoperasian projek perlombongan REE di Gua Musang, Kelantan ia nya dijangka mengambil masa antara satu hingga dua tahun dan disasarkan untuk mula beroperasi pada tahun 2028, tertakluk kepada beberapa perkara terutamanya berkenaan dengan keperluan teknikal, perundangan, kelulusan daripada pihak berkuasa yang berkaitan termasuklah kelulusan laporan EIA.
Selain itu, pihak syarikat juga memaklumkan bahawa pembinaan loji pemisahan REE di Tungzen Industrial Estate, Gopeng, Perak sedang dilaksanakan dengan kapasiti POC sebanyak 3,000 tan metrik setahun, sebelum boleh diperluaskan kepada loji komersial yang berkapasiti 13,000 tan metrik setahun. Sebenarnya kecil jumlahnya itu. Loji tersebut dirancang untuk memulakan operasi setelah memperoleh bekalan bahan mentah REE daripada aktiviti perlombongan. Kalau tak ada bahan mentah, memang tak boleh proses lagi. Jadi, dia mesti ada sequence dia. Bahan mentah dahulu, kemudian barulah boleh kita proses mengikut loji ataupun kilang yang berkenaan.
Walau bagaimanapun, Ahli Yang Berhormat, kerajaan ingin menegaskan bahawa garis masa yang dinyatakan merupakan perancangan pihak syarikat.
Tuan Syed Ibrahim bin Syed Noh
Pelaksanaan setiap fasa projek, termasuk aktiviti perlombongan dan pembinaan loji pemisahan yang berskala komersial ia tertakluk kepada pematuhan, kepada keperluan teknikal, alam sekitar, perundangan serta kelulusan daripada pihak berkuasa yang berkaitan. Saya ulang sekali lagi supaya jelas kepada Yang Berhormat.
Yang kelima — soalan kelima Dato' Yang di-Pertua. Berkenaan status kelulusan berkaitan lokasi projek, sumber bahan mentah, kebenaran perlombongan, penggunaan tanah dan sekitarnya. Pelaksanaan projek ini sekali lagi termasuk tertakluk kepada pematuhan semua keperluan perundangan dan proses kelulusan yang ditetapkan oleh kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.
Untuk projek perlombongan REE dibekalkan kepada loji pemisahan REE yang dirancang, pada masa ini pihak Malaco telah memperolehi kebenaran pihak Kerajaan Negeri Kelantan sepertimana saya sebut tadi untuk projek perlombongan. Projek tersebut sedang pada peringkat pertimbangan kelulusan terma rujukan bagi kelulusan laporan EIA oleh pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS).
Dan projek perlombongan REE juga hanya boleh dijalankan setelah kelulusan Skim Pengendalian Melombong, Operational Mining Scheme (OMS) diperolehi daripada Jabatan Mineral dan Geosains.
Seterusnya soalan yang keenam, berkenaan dengan bentuk pemindahan teknologi daripada Carester kepada Malaco dan Malaysia. Kerjasama antara Carester dan Malaco bertujuan untuk menyokong pembangunan keupayaan teknologi dalam industri REE di Malaysia khususnya bagi aktiviti pemprosesan dan pemisahan REE yang mempunyai nilai tambah yang tinggi. Skop kerjasama ini meliputi penyediaan kepakaran teknikal dalam reka bentuk loji pemisahan REE, pembangunan proses chemical extraction, hydrometallurgy, teknologi solvent extraction, penapisan refining dan pemisahan REE (REE separation), di samping pembangunan kapasiti serta latihan kepada tenaga kerja tempatan.
Jadi, pemindahan teknologi daripada Carester kepada Malaco dia juga ada teknologi pemisahan REE, teknologi pengeskstrakan REE yang memenuhi piawaian ESG. Ini amat penting sebenarnya kalau kita nak pastikan supaya kita ada ekosistem yang menyeluruh untuk negara.
Teknologi pemisahan yang dimiliki oleh Carester didakwa membolehkan Total Rare Earth Oxides — ini sedikit teknikal tapi saya kira amat bermanfaat untuk pengetahuan kita. Dia membolehkan Total Rare Earth Oxides ataupun TREO ini diasingkan kepada elemen-elemen individu iaitu Praseodymium- Neodymium (NdPr), Terbium (Tb) dan Dysprosium (Dy).
Yang ini melibatkan dua fasa. Fasa 1 mengeluarkan NdPr Oxide concentrate dengan ketulenan melebihi 70 peratus dan TbDy Concentrate dengan ketulenan melebihi 12 peratus. Maksudnya kita tak dapat 100 persen lagi Dato' Yang di-Pertua dari segi rare earth kita tu. Fasa ini telah dicapai — telah dicapai pada ketika ini tapi pada fasa 2 akan mengeluarkan NdPr Oxide, Tb Oxide dan Dy Oxide yang melebihi 99.9 peratus ini yang kita perlu capai untuk kita jadikan dia sebagai satu pengeluaran penuh ya daripada rare earth yang ada. Fasa ini dijangka siap pada Jun 2027.
Walau bagaimanapun, kerajaan ingin menjelaskan sekali lagi bahawa pelaksanaan pemindahan teknologi tersebut merupakan sebahagian daripada pelaksanaan projek dan masih tertakluk kepada pematuhan semua keperluan teknikal, kawal selia dan proses kelulusan yang berkuat kuasa. Pada masa ini, JMG belum membuat penilaian teknikal terhadap teknologi yang dicadangkan kerana maklumat teknikal terperinci belum dikemukakan untuk tujuan tersebut.
Soalan yang ketujuh, Dato' Yang di-Pertua. Jika dibenarkan saya teruskan lagi. Ini berkenaan dengan bagaimana nak pastikan supaya projek ini tidak terhenti pada perlombongan, tetapi bergerak untuk rantaian seterusnya. Kita memang komited kerajaan untuk bangunkan industri REE secara menyeluruh.
Maknanya ia bukan di peringkat huluan ataupun mid, upstream tetapi dia mestilah midstream, pertengahan sehinggalah kepada hiliran atau downstream supaya kita boleh ada nilai tambah kepada ekonomi negara. Ini amat penting sekali.
Sebab itu selaras dengan kerangka Dasar Mineral Negara yang Ketiga, New Industrial Master Plan (NIMP) 2030 dan National Advanced Materials Technology Roadmap (NAMTR) 2021–2030, kerajaan memberi tumpuan kepada pembangunan aktiviti pemprosesan dan pemisahan REE, penghasilan produk bernilai tambah seperti Rare Earth Oxides, logam REE, super magnet dan seterusnya komponen bagi industri berteknologi tinggi seperti kenderaan elektrik, tenaga boleh baharu dan elektronik.
Dengan kemampuan Malaco untuk menjalankan pengasingan penuh dengan kerjasama Carester kelak, Malaysia akan mampu untuk menjadi pengeluar NdPr Oxide tulen yang boleh dibangunkan selanjutnya untuk pembuatan logam atau aloi. Pengeluaran logam dan aloi REE tempatan ini seterusnya akan menarik pelaburan dalam sektor pembuatan produk yang lebih tinggi nilainya khususnya super magnet. Ini dalam kepentingan pihak MITI juga.
Ada mantan Timbalan Menteri MITI di sini. Sudah tentu dia sokong. Dalam hubungan ini, kerajaan akan terus menggalakkan pelaburan berkualiti tinggi yang membawa pemindahan teknologi, pembangunan modal insan, penyelidikan dan pembangunan serta kerjasama strategik dengan pemain industri dan institusi penyelidikan bagi memperkukuh lagi ekosistem industri REE negara.
Soalan yang kelapan Yang di-Pertua, yang berkaitan dengan peranan khusus Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri, dan juga agensi-agensi serta kementerian berkenaan untuk menyelaraskan semua kelulusan supaya projek ini tak ada terperangkap dalam birokrasi. Okey. Saya nak menjelaskan bahawa kerajaan memang melihat ini satu sektor strategik. Dah tentu kita mahu supaya penyelarasan pembangunan projek strategik ini dilaksanakan melalui kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan agensi teknikal mengikut bidang kuasa masing-masing.
Dalam konteks pembangunan industri REE, kerajaan negeri bertanggungjawab terhadap urusan tanah dan mineral. Itu memang di bawah negeri. NRES menggubal dasar sektor mineral. Manakala JMG, agensi di bawah kami menyediakan khidmat nasihat teknikal, kepakaran, menilai dokumen dan kelulusan aktiviti perlombongan.
Kemudian, JAS menilai, meluluskan melalui laporan EIA. Sementara itu MITI, MITI dan MIDA memudah cara pelaburan dan pembangunan industri pertengahan serta hiliran. Manakala, MOSTI menyokong aspek penyelidikan, inovasi, pembangunan teknologi.
Dan agensi teknikal seperti Atom Malaysia, seperti Jabatan Perhutanan Negeri dan PBT, mereka turut melaksanakan penilaian serta memberikan kelulusan mengikut bidang kuasa masing-masing. Jadi kita percaya dengan kita ada pengukuhan dari segi kerjasama di antara semua kementerian dan agensi ini maka proses penilaian dan kelulusan ini boleh dilaksanakan secara cekap, telus dan berintegriti, tanpa kita menjejaskan pematuhan terhadap undang-undang serta perlindungan alam sekitar.
Soalan kedua terakhir, soalan sembilan. Dato' Yang di-Pertua, berkenaan dengan bagaimana kerajaan — adakah kerajaan bersedia untuk mempertimbangkan pelantikan seorang utusan khas ataupun special envoy dalam hal ini ya? Pada masa ini, kerajaan berpandangan bahawa mekanisme penyelarasan sedia ada adalah mencukupi di mana kita ada beberapa peringkat.
Pertama, peringkat Persekutuan iaitu kita ada Mesyuarat Special Task Force Hala Tuju Pembangunan Industri Unsur Nadir Bumi (REE) yang dipengerusikan oleh Yang Berhormat Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam.
Dalam itu ada MITI, ada MOF, ada Kementerian Ekonomi, ada MOSTI dan juga kehadiran Jabatan Perdana Menteri. Jadi, ini menjadi ejen ataupun platform yang amat penting untuk penyelarasan.
Di peringkat kerajaan negeri pula ada mesyuarat Majlis Mineral Negara yang dipengerusikan oleh Yang Amat Berhormat Timbalan Perdana Menteri II.
Penyelarasan pembangunan projek ini dilaksanakan mengikut bidang kuasa masing-masing melalui kementerian dan agensi berkaitan termasuk kerajaan negeri dan kementerian-kementerian yang berkenaan.
Walau bagaimanapun, saya percaya dan kita tidak mahu mendabik dada ini semua okey, settled everything ya. Kita terbuka untuk menambah baik apa-apa mekanisme penyelarasan dari semasa ke semasa sekiranya ada keperluan, untuk kita pastikan supaya pembangunan industri REE negara ini dapat dilaksanakan secara cekap, teratur dan mematuhi semua keperluan perundangan yang berkuat kuasa, Akhir sekali Yang di-Pertua soalan 10, berkenaan dengan sama ada kerajaan bersedia sambut peranan Kaukus Parlimen Mineral Kritikal sebagai pemudah cara. Kita mesti sekali lagi ucapkan terima kasih kerana minat dan perhatian berat oleh kaukus. Kita alu-alukan penglibatan semua pihak yang berkepentingan, termasuk Ahli-ahli Parlimen untuk memberikan pandangan dan cadangan yang konstruktif ke arah memperkukuh pembangunan industri mineral kritikal negara. Kita dah ada apa dia panggil penyelarasan pelaksanaan projek, penilaian-penilaian teknikal, jadi maknanya kalaupun kita nak bagi ruang itu saya percaya ia boleh diadakan melalui sesi libat urus dengan semua pihak yang berkepentingan termasuk Kaukus Parlimen Mineral Kritikal.
Tuan Syed Ibrahim bin Syed Noh
Jadi, saya harap ini memberikan jawapan yang baik untuk soalan yang dikemukakan oleh Yang Berhormat. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Terima kasih Menteri. Silakan Yang Berhormat.
Tuan Lee Chuan How - Ipoh Timor
Terima kasih Yang di-Pertua.
Mantap jawapan Yang Berhormat Timbalan Menteri.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Sebentar Menteri, Yang Berhormat. Saya terpaksa stop pukul 4.00. Habis tak habis sekarang, pukul 4.00 saya akan berhentikan mengikut peraturan. Silakan.
Tuan Lee Chuan How - Ipoh Timor
Terima kasih Timbalan Menteri, Speaker. Sovereign co-operation inilah istilah yang diuar-uarkan di luar sana antara Perancis dengan negara kita dalam rare earth elements dan atau rare earth separation atau rare earth technology atau technology transfer yang sedia ada ini.
Dan kita perlu akur dengan realiti bahawasanya technology transfer atau kerjasama dengan China melalui the sulfate or chloride route MRCE di belah- belah utara negeri Perak, benda itu telah menghasilkan sedikit sebanyak hasil, baik buruk lain kira.
Kerjasama dan perundingan dan perbincangan bersama dengan US juga sampai kita hantar rombongan, ada PTG-PTG di peringkat negeri, ada Ahli-ahli Parlimen dari kaukus yang telah hadir ke US untuk membincangkan dan melawat tengok dengan kepala mata sendiri apa yang ada di sana dan technology transfer itu belum ada apa-apa lagi dengan US. Di sini wujudnya satu ruang di mana ada aggressiveness dengan izin, di peringkat Perancis yang dibawa oleh Malaysia waktu Yang Amat Berhormat Perdana Menteri pergi ke Perancis untuk mengadakan satu kerjasama yang sudah nampak hasilnya yang jauh lebih ke depan berbanding dengan US dan dari segi pemindahan teknologi dan infrastruktur pengasingan atau pemisahan nadir bumi.
Di Perak dah mula hendak bina ni yang disebutkan oleh Yang Berhormat Timbalan Menteri tadi. Ini sebenarnya satu breakthrough dengan izin, dan dalam konteks diversification of supply chain untuk nadir bumi dan benda-benda lain atau bahan kritikal yang lain. Ini adalah sesuatu yang kita perlu push. Saya sambut baik apa yang disebutkan, ya ini adalah satu business-to-business (B2B) punya arrangement, tetapi apabila wujudnya satu ruang yang cukup menarik, cukup besar, cukup menguntungkan bagi Malaysia untuk memandang dan mengambil ini sebagai satu government-to-government atau sovereign arrangement, saya rasa kerajaan perlu menyuntik lebih semangat dan lebih sumber.
Di situlah khususnya apabila kita hendak sebut tentang teknologi ESG — teknologi pengasingan berdasarkan ESG yang disampaikan oleh Carester yang mereka dah membuktikan boleh di sebelah sana dan kita hendak dema bawa ke sini untuk membuat di sini. Saya rasa ini adalah sangat-sangat baik khususnya dengan apa yang telah berlaku berulang dua kali sungai menjadi biru di belah- belah utara negeri Perak.
Jadi, ISL yang dibawa oleh Carester ini dia sebenarnya berlainan dengan ISL yang digunakan oleh MCRE di Gerik sebab MRCE bahan dia licik dia, dia kena melalui proses impregnation pull dan terang-terang Carester kata dema punya apa nama, dema punya in-situ leaching, dia punya ion-adsorption clay yang keluar itu tidak perlu impregnation pull. dia terus masuk ke pre-processing. Jadi, di situlah yang agak menarik yang membawa saya untuk membangkitkan isu ini tetapi apabila Carester atau pihak Perancis mempunyai sedikit pemahaman bahawasanya dia ada, mungkin akan disangkut dipautkan dan disekalikan dengan mining concession, ya sudah ada persetujuan dengan Kelantan dan bukan di negeri Perak.
Tetapi apabila hendak sembang fasal sudah ada atau bakal hendak ada OMS, proses ISL yang digunakan di Kelantan ke, sudah ada SOP ke. Jangan sembang pasal OMS. OMS bila ada pengeluaran baru hendak sembang OMS.
Sekarang SOP ISL itu ada atau tidak?
Dan sekiranya ada, yang perlu menyatakan ada atau tidak sebenarnya adalah NRES. Tetapi hendak mohon, hendak bawa itu adalah kerajaan negeri atau PTG negeri atau Menteri Besar Incorporated di peringkat negeri dibagi kepada pihak Kerajaan Pusat melalui NRES.
Jadi, soalan dia adalah sambut baik, ya, ada atau tidak SOP di peringkat Kelantan hendak bagi SOP digunakan oleh Malaco untuk melombong dan keduanya komitmen pihak kerajaan negeri untuk menekan supaya — bukan menekanlah. Untuk mempercepatkan technology transfer pengasingan untuk dijalan tetapi ia berakar kepada mining concession atau feedstock sama ada SOP itu ada atau tidak.
Saya berhenti di situ. Mohon pihak kementerian menjawab.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Sebelum saya teruskan, saya ingin maklumkan kita ada sampai pukul 4.30 petang. Jadi, kalau panjang-panjang nanti...
Tuan Lee Chuan How - Ipoh Timor
Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Peraturan 16(6). Baik, Yang Berhormat jawab.
Tuan Syed Ibrahim bin Syed Noh
Terima kasih Dato’ Yang di-Pertua.
Terima kasih kepada Yang Berhormat Ipoh Timor, rakan saya sahabat saya memang hebat pakar dalam bidang ini nampaknya. Sebab sebenarnya tadi huraian itu memang cukup baik dan sebenarnya sudah menjawab sedikit sebanyaklah berkenaan dengan soalan yang telah dikemukakan.
Pertamanya, saya rasa sudah dalam makluman Yang Berhormat Ipoh Timor bahawa cara yang dilakukan oleh Carester ini berbeza dengan apa yang dilakukan di Perak atau di MCRE. ISL ini berbeza Dato’ Yang di-Pertua. ISL ini in-situ leaching dia ada — kalau MCRE dia ada kolam tadahan ya. Dia ada kolam- kolam tadahan sepertimana yang saya pun sudah lihat, saya pun sudah tengok sendiri.
Tetapi untuk ISL di Gua Musang, perlombongan di Gua Musang ini berbeza. Dia tidak ada kolam. Dia akan masuk ke dalam tangki dan tangki ini akan masuk ke dalam tanker dan akan di-transport ke Gopeng untuk tujuan loji pemprosesan itu. Jadi oleh kerana itu, sudah tentu EIA, OMS dan sebagainya itu ada berbeza, SOP nya pun berbeza. Jadi belum ada lagi, untuk makluman Yang Berhormat. SOP ini belum ada. Ini jawapan daripada pihak pegawai saya, belum ada untuk kaedah ISL kalau sepertimana kaedah yang digunakan oleh China.
Begitu juga yang digunakan di MCRE.
So, soal dari segi komitmen kerajaan untuk kita mempercepatkan technology transfer ini, saya setuju dan kami di peringkat kementerian pun ada bincangkan supaya kita cuba lihat bagaimana cara kita boleh kerjasama dengan kerajaan negeri untuk mempercepatkan sebab yang mana dalam bidang kuasa kerajaan negeri, kita tahu itu adalah mereka. Tetapi di samping itu, ada perkara- perkara dalam bidang kuasa kita seperti JAS, EIA, OMS dan sebagainya.
Saya cuma dimaklumkan bahawa perkara ini tidaklah menjadi halangan besar. Kita akan usahakan, kita akan ikhtiar. So, kalau biasanya proses penilaian EIA ini biasa dia mungkin makan masa setahun, dua tahun, saya rasa perkara itu untuk tujuan strategik, kita boleh buat penilaian tepat, tetapi tidak boleh menggadaikan alam sekitar.
Jadi, kita kena pastikan ada SOP yang betul mengikut pematuhan kepada EIA, di samping kita faham proses itu adalah berbeza dengan apa yang berlaku di MCRE. So, saya harap itu menjawab soalan. Insya-Allah kita sama-sama mengusahakan sektor strategik REE ini dapat dijanakan ataupun digerakkan untuk tujuan ekonomi negara. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Setiausaha.
Tuan Lee Chuan How - Ipoh Timor
Terima kasih Timbalan Speaker.
Kamar Khas ini perlu mengambil perhatian terhadap isu pengenaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) lapan peratus ke atas perkhidmatan penjagaan warga emas di pusat jagaan warga emas berdaftar JKM atau Jabatan Kebajikan Masyarakat yang telah menambah beban kewangan kepada keluarga-keluarga Malaysia yang sedang menjaga ibu bapa dan datuk nenek yang uzur.
Isu ini adalah penting kerana penjagaan warga emas bukanlah pilihan gaya hidup. Dia bukan hiburan, dia bukan kemewahan. Ia adalah keperluan asas keluarga moden, khususnya apabila ramai anak bekerja, tinggal jauh daripada ibu bapa dan tidak mempunyai kemampuan menyediakan penjagaan 24 jam.
Tuan Lee Chuan How - Ipoh Timor
Kebanyakan pusat jagaan warga emas yang lebih mudah diakses dan lebih mampu dibayar oleh golongan berpendapatan sederhana dan rendah adalah pusat jagaan berdaftar JKM dan bukan pusat berlesen KKM, Kementerian Kesihatan Malaysia. Dan apabila pengecualian SST hanya terpakai kepada perkhidmatan tertentu di bawah fasiliti berlesen KKM tetapi tidak kepada pusat jagaan JKM, keluarga biasa yang mempunyai pilihan paling terhad akhirnya menanggung beban cukai yang paling nyata.
Sekarang, terdapat keluarga yang terpaksa membayar tambahan SST RM8,000 ke atas yuran penjagaan bulanan. Dalam satu kes di Ipoh, yuran RM2,500 setiap bulan dikenakan SST sebanyak RM200, menjadikan jumlah keseluruhan RM2,700. Menjadikan tambahan RM2,400 setahun. Bagi yang membayar yuran lebih tinggi, beban tahunan boleh mencecah ribuan ringgit. Jika warganegara Malaysia boleh dikecualikan daripada SST bagi perkhidmatan kesihatan di fasiliti berlesen KKM, mengapakah penjagaan warga emas di pusat berdaftar JKM tidak diberikan layanan yang sama, sedangkan kedua-duanya menyentuh nilai dan keperluan yang sama?
Juga perlu mengambil perhatian bahawa klasifikasi pusat jagaan warga emas sebagai “pusat kesejahteraan” tidak lagi mencerminkan realiti Malaysia hari ini, malah tidak mencerminkan realiti di Asia rantau. Dan Malaysia sedang menuju negara tua. Penjagaan warga emas bukan lagi isu pinggiran, tetapi sebahagian daripada infrastruktur sosial negara. Apabila cukai dikenakan ke atas penjagaan warga emas yang akhirnya menanggung beban bukanlah syarikat semata-mata, tetapi anak-anak, cucu-cucu, cicit-cicit dan keluarga yang sudah pun dihimpit kos sara hidup.
Maka, saya menggesa kerajaan, khususnya Kementerian Kewangan bersama dengan KPWKM untuk segera meneliti semula layanan SST terhadap pusat jagaan warga emas berdaftar JKM dan mempertimbangkan tiga langkah berikut:
Pertama, mengecualikan warganegara Malaysia daripada SST bagi perkhidmatan penjagaan warga emas di pusat jagaan berdaftar JKM.
Keduanya, mengklasifikasikan semula penjagaan warga emas daripada “pusat kesejahteraan” kepada “perkhidmatan penting” dalam rangka kerja percukaian negara.
Dan ketiga yang terakhir, memberikan jawapan segera kepada rayuan pihak industri dan keluarga terlibat, termasuk garis masa keputusan kerajaan, jumlah pusat terkesan, jumlah keluarga terlibat serta anggaran hasil cukai yang sebenarnya dikutip daripada sektor ini. Sekian, terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Sila Menteri jawab.
Timbalan Menteri Kewangan - Tuan Liew Chin Tong
Terima kasih Dato' Yang di-Pertua. Saya risau kita sampai sini — sampai pukul 6.00.
[Ketawa] Saya akan cuba ringkaskan.
Perkhidmatan jagaan warga emas adalah tertakluk kepada Cukai Perkhidmatan di bawah butiran 2, ruang (1), Kumpulan C, Jadual Pertama, Peraturan-Peraturan Cukai Perkhidmatan 2018 mulai 1 September 2018.
Perkhidmatan ini hanya tertakluk kepada kenaan Cukai Perkhidmatan apabila nilai perkhidmatan tahunan penyedia perkhidmatan tersebut telah mencapai nilai ambang RM500,000. Bagi penyedia perkhidmatan yang mempunyai nilai perkhidmatan tahunan kurang daripada nilai ambang tersebut, perkhidmatan yang disediakan adalah tidak tertakluk kepada kenaan Cukai Perkhidmatan.
Kerajaan mengambil maklum isu yang dibangkitkan oleh Ipoh Timur mengenai kenaan Cukai Perkhidmatan ke atas pelanggan yang mendapatkan perkhidmatan jagaan warga emas yang terbeban dengan kos sara hidup yang semakin meningkat. Di samping itu, perkhidmatan jagaan warga emas ini juga telah menjadi perkhidmatan yang semakin diperlukan selaras dengan pertambahan bilangan warga emas di Malaysia di bawah keadaan ageing nation.
Bagi tujuan tersebut, Kementerian Kewangan bersama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) kini sedang menjalankan kajian lanjut untuk meneliti semula layanan cukai ke atas perkhidmatan jagaan warga emas yang dikawal selia oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Antara skop kajian ini adalah untuk mengenal pasti kategori pusat jagaan warga emas yang menawarkan perkhidmatan jagaan bersifat asas atau premium bagi penentuan layanan Cukai Perkhidmatan secara bersasar.
Di samping memenuhi keperluan fiskal kewangan kerajaan, Kementerian Kewangan akan memastikan golongan rentan tidak terkesan dengan kenaan Cukai Perkhidmatan ke atas perkhidmatan jagaan warga emas. Ini adalah selaras dengan pendekatan semasa kerajaan di bawah peluasan skop Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan yang dikenakan secara bersasar.
Sebarang cadangan penambahbaikan daripada semua pihak akan turut diambil kira sebelum kajian ini dimuktamadkan kelak. Dan cadangan Ipoh Timur akan dipertimbangkan. Sekian, terima kasih.
Tuan Lee Chuan How - Ipoh Timor
Terima kasih...
[Ketawa] Terima kasih Timbalan Speaker. 500,000 sebagai ambang nak kena atau tidak kenakan walaupun dia adalah sangat relevan untuk perniagaan-perniagaan yang lain khususnya PMKS dan memang kepada pusat jagaan JKM pun kebanyakannya juga PMKS. Cuma kalau kita tengok angka 500,000 itu, pada 2,500 yuran seorang yang dijaga bermaksud home itu atau pusat itu dia hanya perlu menjaga atau mengambil 16.666 orang udah le melepasi paras 500,000 itu dan untuk skala yang membuatkan sesebuah pusat itu lebih lestari atau business model-nya boleh jalan dia boleh terus berkhidmat sama ada dia nak dengan 25 orang ke 50 orang, maksudnya dia wajib bayar SST. Jadi, bagi saya perkara itu perlu — kalau nak tengok nak gunakan ambang sebagai mekanisme, saya rasa ambang itu perlu lebih tinggi. Itu satu.
Keduanya, memang saya sambut baik apa yang disebutkan oleh Yang Berhormat Menteri — Timbalan Menteri bahawa bahawasanya ia akan dipertimbangkan. Tapi dalam proses pertimbangan tersebut saya rasa kita perlu lebih meluaskan skop pertimbangan. Di sini kita sembang tentang — kita bicara tentang warga emas tetapi pusat jagaan secara keseluruhan sama ada untuk kanak-kanak, sama ada untuk warga emas, sama ada untuk OKU, sama untuk special needs, dengan izin, saya rasa penjagaan untuk keseluruhan skop ini juga perlu dipertimbangkan.
Saya sekali lagi menyambut baik pertimbangan Yang Berhormat Timbalan Menteri dan pendirian kerajaan mengenai untuk meluaskan skop itu. Saya harap sekiranya boleh dipertimbangkan satu lawatan kepada pusat-pusat jagaan sama ada penjaga jagaan warga emas atau yang berpenyakit kritikal dan kanak-kanak dan juga OKU.
Saya rasa sekiranya dapat dipertimbangkan satu lawatan dan saya sudi turun bersama dengan Timbalan Menteri untuk membawa dan juga melibaturuskan persatuan-persatuan pengoperator pusat-pusat penjagaan ini sebab itu akan saya rasa menyuntik lebih detail terhadap pemahaman pihak kementerian dan kerajaan terhadap keperluan-keperluan pusat-pusat tersebut.
Sekian, terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Silakan Menteri.
Tuan Liew Chin Tong
Terima kasih Yang di-Pertua. Terima kasih Ipoh Timur. Saya menerima baik cadangan dan juga pandangan Ipoh Timur berkenaan dengan ambang dan juga dengan skop dan untuk memberi apa ini — memberi jaminan kepada Ipoh Timur dan saya bersedia bersama pegawai saya kami bersedia untuk membuat lawatan bersama dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkenaan dengan sektor warga emas.
Skop yang lain kita bincang selepas itu dan kami akan jemput Ipoh Timur bersama dan juga bersama dengan pengusaha apa ni — pusat jagaan warga emas. Kita tumpukan untuk menyelesaikan isu warga emas sebelum kita sentuh skop yang lain. Terima kasih Yang di-Pertua.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Terima kasih Yang Berhormat. Ingat tadi lebih sampai pukul 6.00 ya.
[Ketawa] Baik. Ahli- ahli Yang Berhormat, sebelum saya menangguhkan mesyuarat saya merakamkan penghargaan kepada semua Ahli Yang Berhormat yang telah turut serta dalam sesi Kamar khas sepanjang mesyuarat kedua ini. Kamar Khas bagi mesyuarat kedua ini telah menyaksikan sejumlah 63 usul di bawah Peraturan Mesyuarat 17 yang melibatkan 18 kementerian dalam tempoh 16 hari. Di samping itu, satu Sesi Penerangan Menteri juga telah diadakan semasa persidangan ini.
Kamar Khas kali ini juga telah memberi peluang kepada seramai sembilan orang ahli daripada pihak backbenchers dan tiga orang ahli daripada pembangkang untuk mempengerusikan mesyuarat Kamar Khas di bawah Peraturan Mesyuarat 16(3). Selain itu, terdapat Ahli-ahli Yang Berhormat telah membawa pelawat dari kawasan Parlimen untuk menyaksikan persidangan Kamar Khas.
Ahli-ahli Yang Berhormat, saya mengucapkan selamat pulang dan semoga Ahli-ahli Yang Berhormat selamat sampai ke destinasi masing-masing dan semoga Ahli-ahli Yang Berhormat sentiasa sihat walafiat di samping keluarga tersayang.
Kamar Khas hari ini ditangguhkan sehingga satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian. Sekian, terima kasih.
[Kamar Khas ditangguhkan pada pukul 3.50 petang]