Katalog Hansard
[Tuan Haji Bakri bin Jamaluddin (Tangga Batu) **mempengerusikan Mesyuarat****]
Datuk Andi Muhammad Suryady bin Bandy - Kalabakan
Assalamualaikum, salam sejahtera. Tuan Yang di-Pertua, saya ingin mengemukakan usul kepada Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri berhubung Status Pelaksanaan Projek Pembinaan 1,000 Unit Rumah Generasi Kedua Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) di Gugusan Umas, Parlimen Kalabakan yang masih belum dapat direalisasikan walaupun telah mendapat cadangan awal daripada pihak pemaju swasta sejak tahun 2025.
Untuk makluman, pelaksanaan program Perumahan Generasi Baharu FELDA (PGBF) secara umumnya berdepan beberapa cabaran struktural termasuk projek terbengkalai dan kelewatan pembinaan akibat masalah aliran tunai kontraktor serta isu teknikal tanah yang tidak dapat diselesaikan dalam tempoh munasabah. Terdapat keadaan di mana projek mengambil masa bertahun-tahun untuk disiapkan, malah ada pemohon asal tidak sempat menerima rumah yang diluluskan.
Selain itu, terdapat juga isu kelulusan tanah dan pemilikan akhir unit perumahan, termasuk projek yang telah mencapai tahap pembinaan tinggi tetapi masih tidak dapat diserahkan akibat pertindihan hak milik serta kelulusan Pihak Berkuasa Negeri yang belum dimuktamadkan. Keadaan ini turut menjejaskan keyakinan rakyat terhadap keberkesanan pelaksanaan program perumahan FELDA. Dari sudut pelaksanaan fizikal, generasi kedua FELDA berhadapan kekangan prasarana asas seperti ketiadaan jalan raya sempurna, sistem perparitan tidak lengkap dan kelewatan penyambungan utiliti air dan elektrik secara sah. Keadaan ini lebih ketara di kawasan penempatan sedia ada yang berkembang tanpa perancangan infrastruktur menyeluruh.
Datuk Andi Muhammad Suryady bin Bandy - Kalabakan
Pada masa yang sama, kekangan di bawah Akta Tanah (Kawasan Penempatan Berkelompok) 1960 turut mengehadkan pembangunan rumah tambahan melalui prinsip satu tapak satu rumah, walaupun kerajaan telah mula memberi kebenaran khas bagi rumah generasi kedua dalam keadaan tertentu bagi mengelakkan isu penempatan tidak formal.
Di samping itu, cabaran pembiayaan perumahan turut membelenggu generasi kedua FELDA apabila majoriti bekerja dalam sektor pertanian, pekerjaan sendiri dan pendapatan tidak tetap, sekali gus menyukarkan kelulusan pinjaman oleh institusi kewangan akibat skor kredit yang tidak stabil.
Sehubungan itu, saya memohon penjelasan kerajaan;
(i) apakah status terkini rundingan FELDA dan syarikat pemaju swasta serta bilakah Surat Kebenaran Permulaan akan dikeluarkan bagi projek 1,000 unit rumah generasi kedua FELDA Kalabakan,
(ii) sejauh manakah koordinasi FELDA dan Kerajaan Negeri Sabah dalam mempercepatkan kelulusan tanah termasuk pecahan lot dan status guna tanah bagi pelaksanaan projek ini,
(iii) apakah intervensi pembiayaan kerajaan seperti SPNB atau Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) bagi memastikan akses pinjaman lebih inklusif kepada generasi kedua FELDA.
Saya ingin menegaskan bahawa isu ini bukan sekadar projek perumahan, tetapi melibatkan kesinambungan generasi FELDA, keadilan sosial luar bandar serta hak asas rakyat untuk memiliki kediaman sendiri di tanah yang mereka diami sejak sekian lama. Sekian, terima kasih.
Tuan Haji Bakri bin Jamaluddin - Tangga Batu
Minta Yang Berhormat Menteri menjawab.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah - Datuk Hajah Rubiah binti Wang
Bismillahirahmanirahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, terima kasih YB Kalabakan atas soalan yang diutarakan.
Tuan Yang di-Pertua, untuk makluman Yang Berhormat, kawasan rancangan FELDA di Sabah melibatkan seramai 1,647 orang peneroka, manakala jumlah keseluruhan warga peneroka dianggarkan seramai 33,000 orang, termasuk yang menetap di dalam dan luar kawasan rancangan. FELDA sentiasa komited dalam memastikan kelestarian kehidupan warga peneroka serta generasi baharu di semua 11 wilayah FELDA.
Pada masa ini, keutamaan FELDA adalah memberi tumpuan kepada usaha menaik taraf kemudahan bekalan elektrik, bekalan air bagi memenuhi keperluan semasa penduduk di kawasan-kawasan rancangan. Sehubungan dengan itu, FELDA masih belum mempunyai sebarang perancangan baru untuk melaksanakan Projek Perumahan Generasi Baharu FELDA atau pemberian Lot Kediaman Generasi FELDA di Wilayah Sahabat, Sabah.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah - Datuk Hajah Rubiah binti Wang
Kerajaan amat prihatin terhadap agenda pemilikan kediaman bagi generasi kedua FELDA, khususnya di kawasan Gugusan Umas, Parlimen Kalabakan. Isu ini bukan sahaja melibatkan pembangunan fizikal, malah berkait rapat dengan aspek keadilan sosial serta kelangsungan komuniti luar bandar.
Walau bagaimanapun, bagi menjawab permasalahan yang YB Kalabakan kaitkan hari ini ya;, Yang pertama berkaitan dengan status projek. Untuk makluman, FELDA tidak pernah mengadakan sebarang rundingan atau perbincangan dengan mana- mana syarikat pemaju swasta berhubung cadangan pembinaan 1,000 unit rumah di kawasan tersebut. Sekiranya terdapat sebarang perancangan yang dimulakan oleh pihak pemaju, ia adalah inisiatif pemaju sendiri dan tujuannya menawarkan unit kediaman kepada bakal pembeli dan bukan merupakan projek yang diluluskan atau disokong oleh FELDA.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah - Datuk Hajah Rubiah binti Wang
Pada masa ini cadangan pembangunan tersebut belum mendapat persetujuan atau kelulusan daripada FELDA. Walau bagaimanapun, pihak pemaju telah membina rumah contoh bagi menyediakan reka bentuk pembangunan dan strategi pemasaran. Sebarang cadangan pembangunan hanya boleh dipertimbangkan setelah memperolehi kelulusan perancangan daripada pihak berkuasa yang berkaitan, termasuk pihak berkuasa tempatan.
Berdasarkan semakan yang telah dilaksanakan, tapak cadangan merupakan tanah milik FELDA di bawah hak milik (CL 105646615) yang mempunyai syarat nyata bahawa tanah pertanian. Kawasan tersebut merupakan kawasan ladang kelapa sawit yang masih aktif di bawah pengurusan Blok FELDA Umas dan masih mengeluarkan hasil. Di samping itu, keadaan bentuk muka bumi yang berbukit menjadikan kawasan tersebut kurang sesuai untuk pembangunan perumahan.
Yang kedua, dari sudut koordinasi Tanah dan Isu Utiliti Tempatan. Pada masa ini, kapasiti kemudahan utiliti ya, khususnya bekalan elektrik dan bekalan air di kawasan berkenaan adalah terhad, dan hanya mencukupi untuk menampung keperluan penduduk sedia ada. Sebarang perancangan pembangunan perumahan baharu memerlukan penyediaan serta penaiktarafan infrastruktur utiliti bagi memastikan keperluan penduduk dapat dipenuhi secara mampan.
Yang ketiga, sudut intervensi pembiayaan. Pada masa ini, FELDA telah mengadakan kerjasama dengan Agrobank, Bank Simpanan Nasional, Bank Islam Malaysia Berhad dan Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) dalam menyediakan kemudahan pembiayaan perumahan kepada warga FELDA yang layak.
Kelulusan pembiayaan adalah tertakluk kepada syarat dan pengkreditan yang ditetapkan oleh pihak bank, termasuk sokongan jaminan daripada Syarikat Jaminan Kredit Perumahan, tertakluk kepada kelayakan pemohon dan dasar pembiayaan yang berkuat kuasa. Secara keseluruhannya, FELDA bersama Kerajaan Negeri Sabah sentiasa komited dalam merealisasikan agenda pembangunan perumahan secara holistik.
Komitmen ini meliputi penyelarasan berkaitan kelulusan tanah, penyediaan infrastruktur utiliti yang mencukupi serta penyediaan akses kepada kemudahan pembiayaan yang inklusif bagi memastikan kesejahteraan dan kualiti
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah - Datuk Hajah Rubiah binti Wang
hidup generasi kedua FELDA di Gugusan Umas terus terpelihara. Sekian, terima kasih.
Tuan Haji Bakri bin Jamaluddin - Tangga Batu
Baik saya persilakan YB Kalabakan untuk mengajukan pertanyaan.
Datuk Andi Muhammad Suryady bin Bandy - Kalabakan
Terima kasih atas jawapan yang komprehensif dan pencerahan daripada pihak Timbalan Menteri. Cuma saya ingin bertanya lagi dan beberapa pencerahan lagi berkenaan program-program ekonomi. Apakah program pemerkasaan sosioekonomi baru di Gugusan Umas khususnya untuk para peneroka ini mengurangkan kebergantungan mereka kepada komoditi semata-mata? Kebelakangan ini kita tengok ada banyak, pelbagai lagi sektor ataupun perkara di mana mereka boleh mendapatkan sumber pendapatan.
Dan yang kedua, berkenaan senarai projek pembangunan di Gugusan Umas yang boleh meningkatkan dan meninggikan lagi kepentingan penduduk setempat. Dua perkara itu. Terima kasih.
Tuan Haji Bakri bin Jamaluddin - Tangga Batu
Silakan Timbalan Menteri menjawab.
Datuk Hajah Rubiah binti Wang
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Saya mohon masa sedikit Tuan Yang di-Pertua. Ada dua seksyen satu sosioekonomi dan satu lagi berkaitan dengan pembangunan infrastruktur yang membantu ataupun memberi kepentingan kepada masyarakat setempat.
Untuk makluman Yang Berhormat, antara program pemerkasaan sosioekonomi terbaharu di Gugusan Umas khususnya bagi mengurangkan kebergantungan peneroka terhadap hasil komoditi semata-mata.
Yang pertama adalah Program Sejati MADANI. Sebanyak sebelas projek telah diluluskan di bawah Program Sejahtera Komuniti MADANI ya, melibatkan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rakyat (JKKR) di Gugusan Sahabat dan Gugusan Umas dengan jumlah keseluruhan peruntukan 762,600. Projek- projek yang dilaksanakan meliputi sektor penyewaan peralatan majlis, pelancongan, komuniti, pertanian, penternakan, perkhidmatan dobi dan homestay.
Pelaksanaan projek ini bertujuan untuk memperkukuhkan aktiviti ekonomi setempat, mewujudkan peluang pendapatan, meningkatkan kesejahteraan komuniti di kawasan berkenaan.
Yang kedua, Program Pembangunan Peneroka (PPP) yang dilaksanakan sejak tahun 2020 lagi bertujuan mewujudkan sumber pendapatan baharu kepada peneroka melalui pelaksanaan projek-projek ekonomi yang berpotensi. Sehingga kini seramai 1,647 orang peneroka di wilayah FELDA Sahabat telah mendapat manfaat daripada lima projek PPP yang diuruskan oleh koperasi Rancangan FELDA di sekitar wilayah FELDA sahabat.
Di Gugusan Umas juga, terdapat tiga projek PPP di bawah seliaan koperasi rancangan telah berjaya dilaksanakan. Projek kolam udang telah merekodkan hasil terkumpul sebanyak 407,000, manakala pembangunan infrastruktur projek burung walid telah siap dibina dan diserahkan kepada koperasi pada Januari 2025 untuk tujuan pengoperasian. FELDA juga terus melaksanakan pemantauan tindakan susulan bagi memastikan projek dipelihara diurus secara berkesan serta dimanfaatkan secara optimum.
Datuk Hajah Rubiah binti Wang
Yang ketiga, program melalui Tabung Usahawan Belia FELDA yang merupakan satu inisiatif pembiayaan kepada belia FELDA melalui kerjasama dengan Bank Islam Malaysia Berhad. Program ini memberi peluang kepada belia memulakan ataupun mengembangkan perniagaan sekali gus meningkatkan pendapatan dan melahirkan lebih ramai usahawan dalam kalangan generasi FELDA.
Sehingga kini seramai 22 orang usahawan dari wilayah FELDA Sahabat telah mengemukakan permohonan di bawah program ini, daripada jumlah tersebut sembilan usahawan telah berjaya menerima pembiayaan, manakala 13 permohonan telah dibatalkan atau ditarik balik oleh pemohon itu sendiri.
Pembiayaan tersebut melibatkan usahawan daripada Gugusan Sahabat Satu, Sahabat Dua dan Sahabat Tiga dan sebahagiannya daripada Usahawan Berterusan FELDA dalam memperkasakan pembangunan keusahawanan di kawasan tersebut.
Selain daripada itu, bagi menggalakkan program-program pembangunan usahawan FELDA telah pun membuat program-program pembangunan dari sudut keusahawanan yang meliputi program-program pendigitalan, program pemasaran pendigitalan, program-program latihan, kursus latihan keusahawanan bersama agensi dan juga mengaktifkan koperasi pelancongan Umas ya dan secara tidak langsung rancangan FELDA di Umas merupakan ahli mesyuarat Jawatankuasa Ekopelancongan Daerah Kalabakan yang dipengerusikan oleh Pegawai Daerah, Pejabat Daerah Kalabakan.
Penglibatan ini membolehkan FELDA mengambil bahagian yang aktif dalam perancangan dan juga pembangunan sektor ekopelancongan di daerah tersebut termasuk mengenal pasti potensi produk pelancongan, memperkukuhkan kerjasama strategi dengan agensi serta mewujudkan peluang ekonomi baru. Dan seterusnya memastikan ataupun menggalakkan penyertaan usahawan FELDA Umas ke Sabah International Food Expo setakat ini Yang Berhormat.
Perkara kedua, berkaitan dengan projek pembangunan di Gugusan Umas yang melibatkan kepentingan masyarakat setempat. Yang pertama adalah projek menaik taraf sumber bekalan air mentah dan loji rawatan di FELDA Gugusan Umas. Yang ini yang YB Kalabakan bangkitkan tadi ya. Projek yang diluluskan di bawah Rolling Plan Ketiga yang telah dilaksanakan secara kaedah konvensional perunding yang telah— yang telah di apa nama — yang telah diusahakan oleh syarikat milik West Sdn Bhd sebagai kontraktor, tender secara terbuka, penyerahan projek pada 13 Mei 2024 dan tarikh siap pada 12 Mei 2026.
Datuk Hajah Rubiah binti Wang
Namun begitu Yang Berhormat, projek ini telah diberi tempoh lanjutan EOT, extension of time menjadikan tarikh siap terkini dia, tadi saya sebut bulan 5, pada 10 Disember 2027. Pelaksanaan projek ini amat signifikan untuk memastikan bekalan air yang lebih konsisten kepada masyarakat penduduk FELDA di Gugusan Umas yang mana apabila siap nanti kita dapat menjangkakan kapasiti dia adalah lima juta MLT sehari bagi menampung keperluan masyarakat setempat.
Yang kedua, pembinaan ataupun upgrading SK Umas-Umas. Yang ini projek di bawah ICU dalam usaha kita meningkatkan memastikan sistem pendidikan yang lebih selamat, berkualiti dan memenuhi keperluan abad 21.
Datuk Hajah Rubiah binti Wang
Yang ketiga, projek menaik taraf jalan kampung, sistem perparitan, saliran Umas 1 dan 4. Untuk makluman Yang Berhormat, bagi menyokong Agenda Pembangunan Luar Bandar dan meningkatkan kesejahteraan warga peneroka, FELDA telah melaksanakan program naik taraf infrastruktur di Gugusan Umas, Sabah melalui projek naik taraf jalan kampung, sistem perparitan dan saliran di bawah Rancangan Malaysia Ke-12.
Sehingga 30 Jun, terdapat dua pakej yang sedang dilaksanakan. Pertama, projek menaik taraf sistem perparitan serta kerja-kerja di FELDA Umas 1 dan Umas 4 yang bernilai RM3.19 juta. Projek ini dah mencapai 96 peratus. Kerja- kerja pemasangan konkrit, kanvas dan kemasan akhir sedang dilaksanakan.
Yang kedua, projek menaik taraf sistem perparitan dan kerja-kerja berkaitan di FELDA Umas 2 dan Umas 3 di bawah Rolling Plan 5 dengan kos kontrak RM1.37 juta. Dan projek ini pada statusnya 33 peratus. Seterusnya projek yang lain ialah kompleks komuniti Umas, projek pembinaan KK FELDA Umas merupakan inisiatif kerajaan melalui FELDA bagi menyediakan kemudahan komuniti yang lebih selesa dan kondusif kepada penduduk setempat. Projek ini bermula pada April 2026 dan siap pada April 2027. Jadi kemajuan projek masih di peringkat awal lagi Yang Berhormat.
Ini antara projek-projek yang ada di sekitar Gugusan FELDA Umas yang boleh memberi benefit ataupun keselesaan ataupun untuk meningkatkan taraf kehidupan masyarakat di kawasan sana. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Tuan Haji Bakri bin Jamaluddin - Tangga Batu
Terima kasih.
Datuk Andi Muhammad Suryady bin Bandy - Kalabakan
Terima kasih Tuan Speaker. Saya ingin mengemukakan satu usul kepada Yang Berhormat Menteri berhubung kebajikan dan perlindungan sosial pekerja gig, khususnya pemandu e-hailing dalam kalangan penduduk Kalabakan yang menjalankan operasi di sekitar Tawau.
Tuan Yang di-Pertua, saya ingin membangkitkan isu kebajikan pekerja gig yang melibatkan penduduk Kalabakan yang bergantung kepada perkhidmatan e- hailing di Tawau sebagai sumber pendapatan utama. Ramai daripada mereka berulang-alik setiap hari dari kawasan pedalaman ke bandar untuk bekerja sebagai pemandu Grab. Namun kini, berdepan tekanan kos hidup dan operasi yang semakin meningkat.
Antara isu utama ialah kadar komisen syarikat platform yang mencecah sehingga 20 peratus bagi setiap tempahan. Potongan ini memberi kesan besar kepada pendapatan bersih pemandu kerana mereka turut menanggung kos bahan api, penyelenggaraan kenderaan, insurans dan komitmen kewangan harian.
Selain itu, kadar tambang juga didakwa menurun dengan ketara. Jika sebelum pandemik, kadar sekitar RM1.20 per kilometer, kini hanya sekitar 70 sen per kilometer. Penurunan ini berlaku ketika kos operasi dan inflasi meningkat, sekali gus menjejaskan kelangsungan pendapatan pemandu.
Datuk Andi Muhammad Suryady bin Bandy - Kalabakan
Pemandu juga menanggung sendiri semua kos pematuhan seperti insurans e-hailing dan perlindungan tambahan tanpa perkongsian daripada syarikat platform. Keadaan ini menimbulkan persoalan mengenai keadilan pembahagian tanggungjawab dalam ekosistem ekonomi gig.
Sebagai perbandingan, Indonesia telah mengehadkan komisen kepada sekitar lapan persen serta memperkenalkan perlindungan lebih baik kepada pekerja gig. Pendekatan ini wajar dijadikan penanda aras bagi Malaysia dalam memperkukuh dasar ekonomi gig yang lebih adil dan mampan.
Di samping itu, pemandu e-hailing di Tawau masih berdepan kekurangan kemudahan asas seperti zon menunggu atau parkir khas di lapangan terbang, terminal dan juga pusat beli-belah. Kekurangan ini menyebabkan mereka terpaksa menunggu di lokasi tidak sesuai serta berdepan risiko keselamatan dan juga tindakan penguatkuasaan.
Sehubungan itu, saya ingin memohon penjelasan daripada Menteri
(i) apakah langkah kerajaan untuk memastikan kadar komisen e-hailing lebih adil dan tidak membebankan pemandu, khususnya penduduk Kalabakan yang beroperasi di Tawau?;
(ii) adakah kerajaan bercadang mengkaji semula kadar tambang minimum agar selaras dengan peningkatan kos sara hidup dan kos operasi semasa?;
(iii) adakah kerajaan akan mempertimbangkan mekanisme perkongsian kos insurans dan perlindungan sosial antara syarikat platform dan pemandu e-hailing?; dan
(iv) apakah tindakan kementerian bersama pihak berkuasa tempatan untuk menyediakan zon menunggu atau parkir khas di Tawau bagi menjamin keselesaan dan kelancaran trafik?
Saya berharap kerajaan memberi perhatian serius terhadap isu ini agar kebajikan pekerja gig, khususnya di daerah Kalabakan, Tawau terus terbela dan sektor e-hailing dapat berkembang secara lebih adil, mampan dan seimbang.
Sekian, terima kasih.
Tuan Haji Bakri bin Jamaluddin - Tangga Batu
Baik. Minta Yang Berhormat Menteri untuk menjawab.
Timbalan Menteri Sumber Manusia - Datuk Khairul Firdaus bin Akbar Khan
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Senyuman tu manis sikitlah Kalabakan. Tuan Yang di-Pertua, Majlis Perundingan Gig (MPGig) telah ditubuhkan di bawah Akta Pekerja Gig 2025 [Akta 872] pada 1 April 2026. Faham?
Seramai 26 orang anggota yang mewakili pekerja gig, persatuan, entiti kontrak, majikan, pihak kerajaan, ahli akademik dan golongan pemikir (think tank) telah dilantik dan diwartakan bagi menyumbang idea untuk menghasilkan syor kepada pihak kerajaan berkaitan kadar pendapatan minimum, kadar lantai, formula yang diguna pakai dan digunakan serta standard minimum yang perlu diguna pakai.
Keanggotaan MPGig turut dianggotai oleh wakil dari Sabah. Melalui
Timbalan Menteri Sumber Manusia - Datuk Khairul Firdaus bin Akbar Khan
MPGig, persatuan-persatuan yang mewakili pekerja gig yang dilantik menjadi anggota majlis boleh berunding, memberi idea serta memperjuangkan hak-hak pekerja gig termasuk isu komisen dan kadar tambang.
Untuk makluman Dewan yang mulia, berkaitan cadangan mengkaji semula kadar tambang minimum agar selaras dengan peningkatan kos sara hidup dan kos operasi semasa, satu kajian bertajuk Struktur Pampasan Yang Adil Bagi Pekerja Gig Di Malaysia sedang dijalankan. Skop kajian ini meliputi penetapan kadar pendapatan minimum, floor earnings, pembangunan formula pengiraan dan penetapan standard minimum bagi pekerja gig berasaskan platform dan bukan penyedia platform. Kajian ini dijangka akan selesai pada bulan September 2026 dan akan dibentang kepada MPGig untuk diperhalusi. MPGig akan membuat syor kepada kerajaan dan jika diluluskan, ia akan diwartakan melalui satu perintah oleh Menteri Sumber Manusia.
Perintah tersebut akan diguna pakai di seluruh Malaysia dan mengikat semua pihak yang terlibat. Mengenai persoalan mekanisme perkongsian kos insurans dan perlindungan sosial antara syarikat platform dan pemandu e-hailing, Akta 872 telah memperuntukkan pekerja gig diwajibkan mencarum di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 [Akta 789] atau Skim Lindung Kendiri. Ini merupakan salah satu langkah proaktif kementerian dalam memastikan perlindungan sosial pekerja gig di kawasan luar bandar turut terbela.
Skim ini merupakan perlindungan insurans kesihatan kepada mereka daripada bencana pekerjaan sendiri termasuk penyakit pekerjaan dan kemalangan perjalanan sewaktu menjalankan aktiviti pekerjaan sendiri.
Berdasarkan rekod PERKESO Yang Berhormat Kalabakan, setakat 31 Mei 2026, jumlah pekerja gig di seluruh negara termasuk di negeri Sabah yang berdaftar dan dilindungi di bawah Skim Lindung Kendiri adalah seramai 1,008,639. Saya ulangi, adalah seramai 1,008,639.
Kementerian bersedia untuk mengintegrasikan sistem berasaskan Antara Muka Pengaturcaraan Aplikasi (API) bersama penyedia platform bagi membolehkan potongan caruman atau kos insurans dilaksanakan secara automatik daripada setiap transaksi pekerja gig tanpa memerlukan campur tangan manual, sekali gus meningkatkan kecekapan, ketelusan dan pematuhan.
Timbalan Menteri Sumber Manusia - Datuk Khairul Firdaus bin Akbar Khan
Tuan Yang di-Pertua, pekerja gig ditakrifkan sebagai orang bekerja sendiri dan mereka boleh bekerja dengan beberapa platform pada masa yang sama.
Oleh yang demikian, mereka tidak dianggap sebagai pekerja kepada platform kerana hubungan yang wujud adalah berasaskan contract for service dan bukan contract of service. Atas alasan ini, kos insurans caruman keselamatan sosial dan perlindungan sosial tetap perlu dibayar daripada pendapatan mereka sendiri, selaras dengan kedudukan mereka sebagai bekerja sendiri.
Mengenai persoalan penyediaan zon menunggu atau parkir khas di Tawau, ia bukan di bawah bidang kuasa Kementerian Sumber Manusia. Sekian, terima kasih.
Tuan Haji Bakri bin Jamaluddin - Tangga Batu
Baik. Saya persilakan Yang Berhormat bagi kawasan Kalabakan YB Datuk Andi Muhammad Suryady.
Datuk Andi Muhammad Suryady bin Bandy - Kalabakan
Terima kasih Tuan Speaker.
Datuk Andi Muhammad Suryady bin Bandy - Kalabakan
Hitam-hitam si buah manggis; Timbalan Menteri juga manis. Soalan tambahan. Saya ingin mendapatkan pencerahan berkenaan tadi Timbalan Menteri ada menyatakan berkenaan dengan contract of service. Jadi, apakah hak pekerja gig sekiranya entiti kontrak kepada — yang disediakan oleh majikan itu mengubah terma kontrak tanpa persetujuan pekerja tersebut.
Pertama.
Yang kedua, adakah pihak perunding bagi kajian bertajuk Struktur Pampasan Yang Adil Bagi Pekerja Gig di Malaysia sedang dijalankan mengambil kira input dan juga pandangan pemegang taruh atau stakeholder di Sabah?
Maknanya, adakah sedang berjalan kajian untuk kita — mengkaji ini struktur pampasan yang ada untuk pekerja gig di Malaysia? Terima kasih.
Tuan Haji Bakri bin Jamaluddin - Tangga Batu
Silakan Timbalan Menteri menjawab.
Datuk Khairul Firdaus bin Akbar Khan
Terima kasih Tuan Yang di- Pertua.
Jauh-jauh pergi Kalabakan; Dalam Dewan ini ada Andy yang ganteng. Sekiranya entiti kontrak majikan mengubah terma kontrak tanpa persetujuan pekerja gig yang merupakan satu pertikaian kerana ia telah melanggar hak pekerja sebagaimana yang dinyatakan di bawah perenggan 8(1)(F). 8(1)(F) Akta Pekerja Gig 2025 [Akta 872]. Ini termasuklah perubahan kadar lantai, kadar komisen dan lain-lain lagi. Pekerja gig hendaklah membuat aduan melalui mekanisme kilanan dalaman yang terdapat di syarikat dan sekiranya pertikaian tidak selesai, pekerja gig boleh membuat aduan terus kepada pihak KESUMA melalui sistem eAduan yang boleh diakses secara atas talian.
Aduan dikendalikan berdasarkan kepada jenis pertikaian dan akan disalurkan kepada jabatan atau agensi yang bertanggungjawab untuk dikendalikan. Pertikaian akan dirujuk kepada Tribunal Pekerja Gig sekiranya tidak berjaya diselesaikan di peringkat jabatan.
Soalan kedua adalah berkaitan dengan adakah kajian bertajuk Struktur Pampasan Yang Adil Bagi Pekerja Gig di Malaysia sedang dijalankan mengambil kira input dan pandangan pemegang taruh stakeholder di Sabah. Betul itu soalan dia Yang Berhormat? Dalam menjalankan kajian bertajuk struktur pampasan yang adil bagi pekerja gig di Malaysia, pihak perunding telah menjalankan sesi libat urus di seluruh Malaysia. Sesi ini telah melibatkan pelbagai pemegang taruh yang terdiri daripada pekerja gig daripada pelbagai platform dan bukan platform, entiti kontrak majikan, persatuan pekerja gig, kementerian-kementerian serta agensi yang berkaitan.
Bagi Sabah, sesi libat urus telah diadakan secara fizikal di Kota Kinabalu pada 11 Mei 2026. Kita sudah lakukan sesi libat urus secara fizikal di Kota Kinabalu pada 11 Mei 2026. Tidak. Hampir dua bulan sudah. Betul. Dan secara atas talian lagi melibatkan wakil-wakil dari pelbagai kawasan termasuk di Keningau, kawasan saya sendiri Sandakan dan Kudat pada tarikh yang sama.
Datuk Khairul Firdaus bin Akbar Khan
Sehubungan dengan itu, dapatan kajian turut akan mengambil kira input yang diperolehi daripada pemegang taruh di Sabah.
Saya harap jawapan yang telah disampaikan boleh memuaskan selera Yang Berhormat Kalabakan yang sentiasa berjuang untuk masyarakatnya di Kalabakan. Tahniah. Terima kasih. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Tuan Haji Bakri bin Jamaluddin - Tangga Batu
Terima kasih Menteri.
Datuk Wan Saifulruddin bin Wan Jan - Tasek Gelugor
Okey. Sorry tak biasa. Tengok gaya Yang di-Pertua boleh tahan ada gaya hari ini. Yang di-Pertua, berdasarkan Peraturan Mesyuarat 17, saya mohon membawa satu perkara tertentu, mustahak dan memerlukan tindakan segera. Perkara ini melibatkan keyakinan rakyat terhadap penguatkuasaan sistem perundangan negara, khususnya integriti dan kesungguhan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat kes-kes berprofil tinggi secara telus, profesional dan tanpa pilih kasih.
Menteri Dalam Negeri sebelum ini pernah menegaskan bahawa setiap siasatan dilaksanakan secara menyeluruh, berintegriti serta berlandaskan prinsip "equality before the law". Menteri turut memaklumkan bahawa PDRM boleh menggunakan mekanisme Red Notice, Blue Notice dan Mutual Legal Assistance
(MLA) bagi mengesan individu yang dikehendaki serta mendapatkan kerjasama rentas sempadan.
Walau bagaimanapun, masih terdapat individu-individu yang dikehendaki pihak berkuasa dan dipercayai berada di luar negara yang belum berjaya dibawa pulang untuk menghadapi proses perundangan atau disoal siasat. Keadaan ini menimbulkan persoalan mengenai keberkesanan, malahan kesungguhan pihak PDRM menjalankan siasatan, sedangkan kita ada mekanisme perundangan seperti melalui Akta Ekstradisi 1992, kerjasama diplomatik serta jaringan perjanjian ekstradisi Malaysia dengan negara lain.
Pada masa yang sama, kemajuan teknologi forensik digital, kecerdasan buatan (AI), pengecaman wajah, analisis biometrik dan pemprosesan imej telah meningkatkan keupayaan agensi penguat kuasa dalam menganalisis bukti bergambar atau bervideo yang sebelum ini sukar dikenal pasti atau kabur.
Kemajuan ini boleh dimanfaatkan bagi menyemak semula kes-kes yang tidak dapat diselesaikan berikutan kekangan teknologi pada ketika siasatan terdahulu dimulakan.
Tetapi masih ada kes berprofil tinggi contohnya membabitkan tuduhan video seks songsang Dato’ Seri Azmin Ali yang siasatannya masih gagal diselesaikan sehingga hari ini. Rakyat mengharapkan setiap siasatan dilaksanakan secara profesional, konsisten dan bebas daripada sebarang persepsi layanan berbeza terhadap mana-mana individu. Rakyat tidak mahu perjalanan sesuatu siasatan dipengaruhi unsur luar.
Justeru, kerajaan perlu memastikan dasar, prosedur dan keupayaan penguatkuasaan sentiasa diperkasakan selaras dengan perkembangan teknologi
Datuk Wan Saifulruddin bin Wan Jan - Tasek Gelugor
serta amalan terbaik antarabangsa. Sehubungan itu, saya memohon penjelasan kerajaan mengenai:
(i) apakah langkah mempercepatkan proses ekstradisi individu-individu yang dikehendaki, termasuk usaha memperluaskan perjanjian ekstradisi dengan negara berkaitan?;
(ii) adakah kerajaan telah memulakan proses ekstradisi terhadap Datuk Seri Adlan Berhan dan Jho Low. Apakah halangan undang-undang atau diplomatik yang dihadapi untuk membawa mereka balik?;
(iii) adakah PDRM menggunakan teknologi forensik digital terkini untuk menyemak semula kes-kes berprofil tinggi seperti kes Azmin Ali?; dan
(iv) apakah garis panduan dan mekanisme yang digunakan bagi memastikan teknologi tersebut diaplikasikan secara adil, telus dan konsisten demi memperkukuh keyakinan rakyat terhadap sistem penguatkuasaan undang-undang negara.
Terima kasih. Tuan Haji Bakri bin Jamaluddin - Tangga Batu
Ya, saya minta Timbalan Menteri untuk menjawab.
Timbalan Menteri Dalam Negeri - Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar bin Haji Nasarah
Bismillahirrahmanirrahim. Yang Berhormat Yang di-Pertua, Yang Berhormat Tasek Gelugor. Ada empat soalan yang dibangkitkan tadi. Saya akan menjawab satu persatu.
Untuk soalan pertama, untuk makluman Ahli Yang Berhormat, proses ekstradisi di Malaysia adalah tertakluk di bawah Akta Ekstradisi 1992 [Akta 479] dan Triti Ekstradisi antara Malaysia dengan negara asing. Bagi memulakan sesuatu proses ekstradisi atau dalam proses permintaan ekstradisi, kesemua kehendak peruntukan-peruntukan di bawah Akta 479 atau Triti Ekstradisi perlu dipenuhi. Proses ini lazimnya merupakan proses yang panjang memandangkan ia melibatkan proses undang-undang antara dua negara dan turut melibatkan pihak mahkamah.
Timbalan Menteri Dalam Negeri - Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar bin Haji Nasarah
Bagi memastikan proses ekstradisi berjalan lancar tanpa kelewatan tidak wajar, kesemua dokumentasi perundangan seperti kehendak Akta 479 dan Triti Ekstradisi hendaklah dipatuhi sepenuhnya. Dalam memperluaskan kerjasama antara Malaysia dan negara asing dalam perkara mengenai ekstradisi, sehingga kini, Malaysia telah menandatangani Triti Ekstradisi dengan 11 buah negara. Di bawah platform ASEAN, Malaysia telah menandatangani ASEAN Extradition Treaty. Malaysia sentiasa bersedia untuk memulakan rundingan Triti Ekstradisi dengan negara asing dan memang mengalu-alukan kerjasama dalam perkara ekstradisi ini dan perkara ini sering disampaikan dalam sesi kunjung hormat atau
Timbalan Menteri Dalam Negeri - Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar bin Haji Nasarah
di platform mesyuarat-mesyuarat antarabangsa yang dihadiri oleh pihak kementerian.
Untuk jawapan (b), bagi memulakan proses ekstradisi terhadap mana- mana individu, suatu kertas siasatan mesti lengkap dan pertuduhan di mahkamah perlu dilaksanakan. Dalam masa yang sama, aspek teknikal dan perundangan yang lain juga perlu dijalankan seperti mengenal pasti keberadaan individu- individu berkenaan dengan maklumat yang sahih, bagi membolehkan permintaan ekstradisi dikemukakan kepada negara berkaitan.
Berkaitan soalan yang ketiga, untuk makluman Yang Berhormat, Polis Diraja Malaysia sentiasa dinamik dalam beradaptasi dengan kemajuan teknologi digital terkini, selaras dengan tuntutan standard analisis forensik jenayah di peringkat antarabangsa. Pada masa ini, PDRM memiliki kelengkapan teknologi optimum untuk mengendalikan siasatan saintifik yang setanding dengan piawaian dan standard global.
Kompetensi ini Yang Berhormat merangkumi keupayaan melaksanakan analisis forensik digital secara menyeluruh terhadap pelbagai kes jenayah kompleks, termasuk kes-kes berprofil tinggi yang dimaksudkan tadi. Ini bagi memastikan keutuhan bahan bukti digital sentiasa terpelihara demi menyokong sistem keadilan negara ini.
Seterusnya untuk soalan berikutnya, bagi makluman Yang Berhormat, selaras dengan komitmen kerajaan dalam membanteras jenayah secara tuntas menerusi pengaplikasian teknologi forensik terkini, Makmal Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah sedia mengguna pakai standard antarabangsa yang ketat dalam setiap pelaksanaan analisis saintifiknya. Ini penting kerana kredibiliti makmal ini juga terbukti apabila berjaya memperoleh pengiktirafan global yang berprestij, termasuk pensijilan MS ISO 17025 bagi kecekapan makmal pengujian serta ISMS 27001 bagi sistem pengurusan keselamatan maklumat.
Kualiti ini diperkukuhkan lagi dengan pelantikan beberapa pegawai Makmal Forensik PDRM sendiri untuk menganggotai jawatankuasa kerja di pelbagai peringkat termasuk di peringkat antarabangsa. Ini sekali gus mencerminkan pengiktirafan dunia terhadap kepakaran, keupayaan, dan kewibawaan modal insan PDRM dalam bidang sains forensik.
Oleh yang demikian, seluruh rantaian proses penguatkuasaan, bermula daripada kaedah analisis, pengendalian bahan ekshibit, perlindungan keselamatan data sehinggalah kepada kompetensi juruanalisis adalah dijamin memenuhi piawaian global yang paling mutakhir dan terkini. Pemantapan standard antarabangsa ini amat penting dan amat kritikal bagi memastikan institusi keadilan jenayah negara dapat berfungsi dengan telus, adil dan konsisten demi memelihara ketenteraman awam dan hak keseluruhan lapisan masyarakat tanpa sebarang bentuk diskriminasi. Ini memang menjadi pegangan dan keutamaan PDRM. Terima kasih.
Tuan Haji Bakri bin Jamaluddin - Tangga Batu
Baik, saya persilakan Yang Berhormat Tasek Gelugor untuk mengajukan pertanyaan.
Datuk Wan Saifulruddin bin Wan Jan - Tasek Gelugor
Terima kasih Yang di-Pertua. Terima kasih Timbalan Menteri atas jawapan yang dibagi tadi.
Saya tengok jawapan yang diberikan adalah jawapan berbentuk umum. Soalan saya agak khusus. Jadi, soalan tambahan saya pun akan berbunyi agak khusus.
Datuk Wan Saifulruddin bin Wan Jan - Tasek Gelugor
Saya mendengar dengan teliti jawapan-jawapan yang diberikan dan saya rasa ada sedikit kelompongan dalam jawapan tersebut. Kita perlu faham bahawa isu integriti dan kebolehpercayaan terhadap pihak berkuasa ini merupakan satu perkara yang amat penting dalam memastikan kedaulatan undang-undang sesebuah negara.
Sebab itulah bila kita sebut kes-kes berprofil tinggi yang belum selesai ini, ada kebimbangan takut-takut dia adalah siasatan-siasatan yang berlaku secara terpilih. Pada bulan Julai 2024, saya bertanya kepada seorang bekas Perdana Menteri mengenai kesahihan video di Sandakan. Hotel di Sandakan, Kalabakan baru bagi tahu tadi siap kena tukar nama dah nama hotel tu pun.
Julai 2024, saya tanya seorang bekas Perdana Menteri mengenai kesahihan video itu. Saya dimaklumkan bahawa ada laporan forensik yang mengatakan video itu 99 peratus tulen. Maksudnya kalau 2024 bulan Julai dah tahu bahawa video tu tulen, macam mana hari ini tak selesai lagi dan Menteri mengatakan bahawa ada segala jenis teknologi. Apa tadi? Kelengkapan teknologi yang optimum, yang boleh menyelesaikan kes-kes siasatan yang kompleks.
Jadi, di mana sebenarnya teknologi ini digunakan? Ini menyebabkan rakyat mula tertanya-tanya. Adakah ada apa-apa yang cuba disembunyikan?
Adakah apa-apa deal yang dibuat sehingga ia disiasat secara terpilih dan sehingga hari ini tidak selesai? Dan lebih penting jika sekiranya video itu palsu, kenapa PDRM tidak mengambil tindakan terhadap saudara Haziq Abdullah Abdul Aziz yang buat video satu lagi mengaku bahawa diarah oleh orang kedua dalam video itu. Kalau salah satu mesti betul. Kalau tidak, dua-dua salah, dua-dua patut kena tindakan.
Sekali lagi, selagi mana tidak diselesaikan, selagi itulah integriti dan kebolehpercayaan terhadap PDRM akan dipersoalkan dan ditanya oleh rakyat.
Saya juga susah sikit nak faham jawapan Menteri mengenai kegagalan bawa balik orang-orang yang dicari.
Tuan Haji Bakri bin Jamaluddin - Tangga Batu
Boleh ringkaskan soalan?
Datuk Wan Saifulruddin bin Wan Jan - Tasek Gelugor
Saya ni ada pengalaman kena siasat, Tuan Yang di-Pertua. Jadi, saya tak nampak ruang macam mana boleh lari daripada proses siasatan. Tapi kali ni nampaknya tak ada masalah apa-apa pun, boleh pergi ke tempat lain. Ada pula cerita mengenai ziarah-menziarahi yang berlaku. Adakah semua yang terlibat itu telah disoal siasat untuk memastikan bahawa mereka dikehendaki boleh dipanggil balik ke negara kita untuk menjalani proses siasatan?
Dan akhir sekali, saya nak jaminan daripada pihak kerajaan. Bolehkah kerajaan memberi jaminan bahawa semua isu ini yang berprofil tinggi ini boleh diselesaikan tahun ini supaya ia tidak berlarutan sehingga bila-bila? Sekian, terima kasih.
Tuan Haji Bakri bin Jamaluddin - Tangga Batu
Baik, terima kasih. Sila, minta Yang Berhormat Menteri untuk menjawab.
Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar bin Haji Nasarah
Terima kasih Yang Berhormat Yang di-Pertua. Sahabat saya Tasek Gelugor, isu integriti memang menjadi keutamaan polis dan KDN kerana polis juga terdedah kepada tindakan undang-undang. Kerana itu, kita sangat menjaga soal ini.
Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar bin Haji Nasarah
Untuk maklumat Ahli Yang Berhormat, saya ingin nyatakan bahawa PDRM memang telah pun kita umum, kita telah membuka kertas siasatan berhubung rakaman video intim yang tular pada tahun 2019 yang dikaitkan dengan mantan seorang anggota Kabinet. Siasatan berhubung [Tidak jelas] Report 20640/2019.
Ini telah dijalankan di bawah peruntukan undang-undang iaitu seksyen 292, seksyen 377B dan seksyen 504 Kanun Keseksaan serta seksyen 233, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Sehingga kini, siasatan masih diteruskan bagi mengesan dan mendapatkan rakaman asal dan semua peranti atau peralatan yang diguna untuk merakam aksi tersebut. PDRM saya sebutkan tadi, kita jalankan siasatan secara profesional, telus, adil tanpa mengambil kira kedudukan atau fahaman politik mana-mana pihak dan tidak melindungi mana-mana individu.
Bagi satu lagi kes yang dimaksudkan tadi yang melibatkan menantu kepada mantan Perdana Menteri, Tan Sri Mahiaddin Yassin, saya nak sebut bahawa pihak SPRM telah mengeluarkan waran tangkap sebab kes ini disiasat di bawah SPRM. Saya tidak boleh mengulas lanjut lebih daripada itu. Terima kasih.
Tuan Haji Bakri bin Jamaluddin - Tangga Batu
Baik, terima kasih.
Datuk Wan Saifulruddin bin Wan Jan - Tasek Gelugor
Yang di- Pertua, saya mohon untuk membawa satu perkara tertentu, mustahak dan memerlukan tindakan segera. Isu ini melibatkan kesejahteraan hidup, kesihatan awam dan hak asasi puluhan ribu rakyat di Tasek Gelugor, kawasan saya Pulau Pinang yang menderita akibat pencemaran kronik Sungai Kereh.
Sungai Kereh kini menjadi saluran buangan kumbahan najis khinzir dan sisa perindustrian tidak terawat dari kawasan penternakan babi di Kampung Selamat.
Datuk Wan Saifulruddin bin Wan Jan - Tasek Gelugor
Impak situasi ini melimpah terus ke kawasan hilir, menjejaskan jajaran sungai dan kawasan perumahan berkepadatan tinggi di Tasek Gelugor. Setiap hari, rakyat terpaksa menghidu bau busuk melampau, berdepan ancaman penyakit bawaan air dan melihat ekosistem sungai mereka mati sehingga ada kesan kepada sawah berdekatan.
Tan Sri Yang di-Pertua — maaf. Yang di-Pertua, apa yang mengecewakan adalah wujudnya lompong penguatkuasaan (jurisdiction gap) antara agensi.
Apabila aduan dikemukakan JAS menyatakan isu ini di luar bidang kuasa mereka kerana melibatkan sisa penternakan. Manakala, JPVPP pula mengakui lumpuh dari segi kapasiti. Bagaimanakah penguatkuasaan berkesan boleh berlaku sekiranya hanya tiga orang pegawai penguat kuasa ditugaskan memantau keseluruhan kawasan penternakan yang begitu luas? Mereka terpaksa berhadapan risiko fizikal, ancaman binatang berbisa seperti ular, serta implikasi kesihatan akibat gas amonia.
Lebih parah, undang-undang sedia ada tiada taring pencegahan, deterrent effect. Rekod menunjukkan JPVPP hanya mampu mengeluarkan sekitar 12
Datuk Wan Saifulruddin bin Wan Jan - Tasek Gelugor
saman setahun dengan nilai kompaun kumulatif RM75,000. Angka ini langsung tidak memberi kesan gerun kepada industri gergasi yang menjana keuntungan jutaan ringgit. Pengusaha hanya membayar denda kecil tapi mengaut untung besar. Manakala, rakyat Tasek Gelugor terus membayar harga pencemaran dengan kesihatan dan keselesaan mereka.
Saya juga tidak nampak kesungguhan Kerajaan Negeri Pulau Pinang menyelesaikan masalah ini dan ia memerlukan campur tangan kerajaan Persekutuan. Justeru, saya menuntut penjelasan tuntas daripada pihak kerajaan melalui empat persoalan utama:
(i) adakah kerajaan bersedia menerajui penubuhan jawatankuasa bersepadu peringkat Persekutuan yang menggabungkan semua agensi berkaitan dan kerajaan negeri bagi menyelesaikan isu ini secara muktamad?;
(ii) apakah langkah intervensi jangka pendek serta-merta untuk menghentikan pelepasan sisa kumbahan mentah ke sistem perparitan awam?;
(iii) adakah kerajaan bercadang menyemak semula struktur penalti di bawah akta berkaitan agar kadar kompaun dinaikkan lebih tinggi, setimpal dengan kemusnahan alam sekitar dan gangguan kepada penduduk?; dan
(iv) apakah pelan mitigasi jangka panjang untuk memulihkan, rehab semula kualiti air Sungai Kereh serta menjamin kesejahteraan penduduk?
Sekian, terima kasih.
Tuan Haji Bakri bin Jamaluddin - Tangga Batu
Baik. Minta Yang Berhormat Menteri untuk menjawab. Silakan.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan - Datuk Chan Foong Hin
Tuan Yang di-Pertua, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada YB Tasek Gelugor kerana telah mengemukakan soalan ini. Keprihatinan YB dalam membangkitkan isu ini adalah amat dihargai.
KPKM memandang serius dan amat prihatin terhadap aduan penduduk di Tasek Gelugor mengenai isu pencemaran kronik Sungai Kereh. Justeru, kementerian sangat komited untuk bersama-sama dengan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam serta agensi-agensi kerajaan yang lain untuk menangani isu pencemaran sungai demi kesejahteraan hidup rakyat.
Mengenai persoalan pertama iaitu kesediaan kerajaan menerajui penubuhan jawatankuasa bersepadu peringkat Persekutuan yang menggabungkan semua agensi berkaitan dan kerajaan negeri bagi menyelesaikan isu ini secara muktamad, adalah dimaklumkan bahawa pada masa ini, sebuah jawatankuasa khas di peringkat Persekutuan iaitu Mesyuarat Jawatankuasa Khas Menangani Kemerosotan Air Sungai Kebangsaan (JKKAS) telah pun diwujudkan yang dipengerusikan oleh Yang Amat Berhormat Timbalan Perdana Menteri, Dato' Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof. Mesyuarat tersebut
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan - Datuk Chan Foong Hin
dianggotai antara lain oleh YAB Menteri-menteri Besar dan YAB Ketua Menteri, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan serta pelbagai pihak berkuasa di peringkat Persekutuan dan negeri.
Terma rujukan mesyuarat ialah bagi membincangkan perkara khusus berkaitan dengan piawaian kualiti air, termasuk isu pencemaran air daripada industri penternakan. Dalam hal ini, Jabatan Perkhidmatan Veterinar telah memberikan penerangan berhubung Garis Panduan Pengurusan Kes Indeks Pencemaran Industri Ternakan dalam mesyuarat tersebut sebagai panduan kepada pihak berkuasa negeri.
Bagi menjawab persoalan kedua mengenai langkah intervensi jangka pendek serta-merta untuk menghentikan pelepasan sisa kumbahan mentah ke sistem perparitan awam, KPKM menerusi Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Pulau Pinang telah menerajui pelbagai langkah pemantauan dan penguatkuasaan. Langkah bagi menangani isu pengurusan sisa ternakan adalah seperti berikut:
(a) tindakan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Pulau Pinang menetapkan syarat pelesenan yang mewajibkan semua penternak khinzir menghantar sisa ternakan ke loji biogas. Syarat ini ditetapkan hasil perbincangan bersama exco kerajaan tempatan dan kerajaan negeri sebagai usaha mengawal serta menangani isu pencemaran di Kampung Selamat.
Sehubungan itu, mulai 4 Mei 2026, semua ladang ternakan khinzir di Kampung Selamat telah menghantar sisa ternakan ke loji rawatan biogas di Ampang Jajar bagi memastikan sisa ternakan diuruskan secara lebih sistematik serta mengurangkan risiko pelepasan sisa ke sistem perparitan dan sungai;
(b) memantau statistik penghantaran sisa bagi memastikan setiap ladang menghantar sisa ternakan mengikut jadual yang ditetapkan. Sekiranya didapati terdapat ladang yang gagal menghantar sisa ternakan tanpa alasan yang munasabah atau melanggar syarat pelesenan, tindakan penguatkuasaan termasuk pengeluaran kompaun akan diambil mengikut peruntukan Enakmen Penternakan Babi Pulau Pinang 2016;
(c) menjalankan pemeriksaan berkala ke atas semua ladang ternakan khinzir berlesen serta pemeriksaan susulan terhadap setiap aduan yang diterima. Pemeriksaan ini bertujuan memastikan pematuhan terhadap syarat pelesenan melalui Peraturan-Peraturan Pelesenan Penternakan Babi (Pulau Pinang) 2020, sistem pengurusan sisa ternakan dan peruntukan undang- undang yang berkuat kuasa. Tindakan penguatkuasaan akan diambil terhadap mana-mana penternak yang didapati melakukan pelanggaran; dan
(d) melaksanakan pemantauan secara mingguan. Hasil pemantauan mendapati bahawa sejak semua ladang menghantar sisa ternakan ke loji biogas, keadaan di Parit
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan - Datuk Chan Foong Hin
Cina adalah terkawal dan tiada pelepasan sisa ternakan yang signifikan dikesan dan tindakan segera dapat diambil sekiranya terdapat sebarang ketidakpatuhan.
Sementara itu, antara langkah penting yang telah dilaksanakan oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia ialah seperti berikut:
(i) membuat notifikasi segera kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri supaya memantau sekiranya terdapat aduan, menjalankan kawal selia dan penguatkuasaan mengikut punca kuasa yang diperuntukkan di bawah enakmen negeri yang berkaitan dengan penternakan khinzir. Berdasarkan rekod Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia, sebanyak 13 aduan berkaitan ladang khinzir telah diterima bagi tempoh 2022 hingga 2026.
Daripada jumlah tersebut, negeri Pulau Pinang merekodkan aduan tertinggi dengan enam aduan, diikuti negeri Johor, Perak dan Selangor masing-masing dua aduan, manakala negeri Sabah satu aduan;
(ii) melaksanakan pemeriksaan bersepadu dengan pihak berkuasa lain seperti Jabatan Alam Sekitar (JAS), pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi negeri yang berkaitan. Di negeri Pulau Pinang, pemeriksaan bersepadu telah dilaksanakan sekali setiap tahun bagi tempoh 2022 hingga 2024, manakala pemeriksaan bagi tahun 2025 dijalankan secara khusus oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar. Bagi negeri-negeri lain yang mempunyai ternakan khinzir, pelaksanaan pemeriksaan bersepadu adalah berdasarkan arahan kerajaan negeri masing- masing; Masih panjang.
Tuan Haji Bakri bin Jamaluddin - Tangga Batu
Sila ringkaskan.
Ringkaskan.
Datuk Chan Foong Hin
Masih — enam lagi muka surat. Enam muka surat.
Tuan Haji Bakri bin Jamaluddin - Tangga Batu
Enam muka surat?
Boleh atau dibagi jawapan bertulis boleh? Boleh?
Datuk Wan Saifulruddin bin Wan Jan - Tasek Gelugor
Bagi sikit lagi.
Tuan Haji Bakri bin Jamaluddin - Tangga Batu
Bagi sikit lagi.
Datuk Chan Foong Hin
Sikit lagi. So, okay.
(iii) mewujudkan program pemantauan pencemaran di ladang ternakan. Di peringkat Persekutuan, program pensampelan biochemical oxygen demand (BOD) dan chemical oxygen demand (COD) dilaksanakan bagi memantau kualiti pelepasan efluen air buangan dari sisa ladang khinzir di seluruh negara sekurang-kurangnya sekali setahun mengikut Manual Program Pemantauan Pencemaran oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar; dan
Datuk Chan Foong Hin
(iv) mengadakan mesyuarat dan perbincangan dengan pelbagai agensi bagi menyelesaikan isu yang dibangkitkan.
Antaranya ialah mesyuarat inter-agensi di peringkat Persekutuan yang diadakan sekali setahun. Selain itu, pegawai Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia juga pernah terlibat dalam perbincangan mengenai isu Sungai Kereh melalui Mesyuarat Pasukan Petugas Mengenai Pencemaran Sungai Kereh pada tahun 2022.
Datuk Chan Foong Hin
Mungkin saya cuma satu lagi perenggan okey. Untuk soalan ketiga okey mengenai penyemakan semula struktur penalti di bawah akta berkaitan agar kadar kompaun dinaikkan lebih tinggi, setimpal dengan kemusnahan alam sekitar dan gangguan kepada penduduk. Adalah dimaklumkan bahawa tindakan penguatkuasaan dan penalti adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri. Ini untuk soalan yang ketiga.
Untuk soalan yang keempat, mengenai keperluan mewujudkan pelan mitigasi jangka panjang untuk memulihkan, rehab semula kualiti air Sungai Kereh serta menjamin kesejahteraan penduduk, di antara tindakan yang kita telah buat adalah seperti tadi saya kata memastikan zero discharge okey. Okey sekarang yang sisa kumbahan itu semua harus dan diwajibkan dihantar ke loji biogas. Itu tindakan yang utama. Sekian, terima kasih. Jawapan yang lengkap nanti saya akan memberikan jawapan secara bertulis.
Tuan Haji Bakri bin Jamaluddin - Tangga Batu
Saya persilakan Yang Berhormat Taser Gelugor untuk mengajukan pertanyaan.
Datuk Wan Saifulruddin bin Wan Jan - Tasek Gelugor
Terima kasih Yang di-Pertua, terima kasih Timbalan Menteri. Detail dia prepare jawapannya.
Terima kasih banyak-banyak. Yang di-Pertua, isu penternakan babi ini saya nak jelaskan awal-awal. Ini bukan isu politik, bukan isu perkauman, bukan isu agama tapi isu mengenai keselesaan rakyat terutamanya yang hidup dan tinggal di kawasan berdekatan. Dan isu Sungai Kereh ini, Kampung Selamat ini dah berpuluh tahun sebenarnya.
Tapi saya nak sebut di sini bahawa saya mungkin Ahli Parlimen pertama Tasek Gelugor yang masuk dalam kandang babi itu sendiri nak tengok apa yang berlaku dan yang saya nampak memang betul, masalahnya ialah di luar, kumbahan itu jadi masalah. Dalam kandang itu bersih sebenarnya.
Tapi kompaunnya tak cukup tinggi, jawatankuasa yang ditubuhkan kalau dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Yang di-Pertua saya rasa yang itu memang tak boleh nak fokus kepada satu isu sahaja. Jadi kena ada penumpuan. Jadi Tasek Gelugor ini kita ada satu jawatankuasa bertindak.
Saudara Azlan Roni hadir dengan saya pada hari ini, merupakan pengerusi jawatankuasa bertindak nak menangani isu ini. Saya harap Timbalan Menteri boleh berjumpa sekejap selepas ini.
Tapi saya nak bagi satu pandangan Yang di-Pertua kalau boleh dalam beberapa saat ini. Saya rasa isu ini perlu diselesaikan dengan cara melihat isu supply daging babi ini sebagai satu isu yang mesti dijaga haknya kepada orang yang nak makan daging tersebut. Dan saya nak mencadangkan supaya kerajaan mempertimbangkan untuk meliberasikan import daging babi daripada negara- negara luar. Kita tengok contoh, Singapura bagaimana mereka tidak
Datuk Wan Saifulruddin bin Wan Jan - Tasek Gelugor
membenarkan penternakan babi di Singapura tetapi membenarkan import babi dari negara seperti Australia, Brazil, Eropah, Taiwan dan China tapi syarat- syaratnya ketatlah.
Bagi saya, kita sepatutnya meliberalisasikan import daging babi daripada luar dan kita menjamin cukupnya bekalan tersebut dan akibat daripada itu nanti saya yakin bahawa kita boleh mengusahakan satu keadaan di mana kita berpindah daripada industri penternakan babi seluruh negara kepada satu industri lain. Dan kita pernah buat Yang di-Pertua daripada tembakau pindah ke kenaf.
Kenapa tak boleh kita pindah daripada industri babi ke tempat lain yang harapan saya akhirnya membawa kepada penutupan sepenuhnya ladang babi di Kampung Selamat. Terima kasih.
Tuan Haji Bakri bin Jamaluddin - Tangga Batu
Baik, terima kasih.
Silakan Yang Berhormat Timbalan Menteri menjawab.
Datuk Chan Foong Hin
Okey untuk menjawab cadangan daripada Yang Berhormat Tasek Gelugor, untuk makluman sekarang mungkin yang isu di Kampung Selamat ni kan sudah lama dan mulai tahun ini, selepas adanya loji biogas sekarang saya dapatkan gambar untuk menunjukkan keadaan di Parit Cina sebelum 4 Mei dan juga gambar yang didapati pada 8 Julai tahun ni [Sambil menunjukkan sekeping gambar] memang dia banyak perbezaan kerana yang isu pencemaran untuk ladang penternakan ni bukan sahaja kepada penternakan khinzir, penternakan ayam pun ada masalah pencemaran dia, di mana pencemaran atau gangguan dari lalat.
So, isu dia bukan sektor satu saja. Maksud dia, dia isu satu pencemaran.
Kalau kita dapat menangani dia dengan cara yang saintifik, saya percaya tiada isu untuk timbulkan bahawa nak penutupan kesemua ladang khinzir atau ladang ayam atau apa-apa ladang dan sekarang untuk makluman di Pulau Pinang sekarang Pulau Pinang telah mencapai 100 peratus pemodenan ladang babi sejak tahun 2023.
Pada masa kini sebanyak 108 buah ladang beroperasi secara sah, di mana 63 ladang adalah berada di daerah Seberang Prai Utara termasuk 61 buah ladang di Kampung Selamat okey, satu di Pinang Tunggal dan satu di Pongsu Seribu. Kesemua ladang yang beroperasi tanpa lesen telah ditutup sepenuhnya.
Ini yang berlaku di Pulau Pinang.
Sekarang kerajaan negeri, mereka juga memperketatkan dari lesen dia.
So, diwajibkan sesiapa ladang yang masih nak beroperasi, mesti hantar sisa kumbahan ke loji rawatan biogas. So, inilah cara saintifik yang kita sudah buat dan sebenarnya satu perjumpaan bersama dengan semua YB-YB okey yang diadakan pada 23 April telah dipengerusikan oleh Exco Kerajaan Tempatan Pulau Pinang iaitu YB Tuan Jason H’ng Mooi Lye bersama Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri bagi daerah Seberang Prai Utara termasuk Ahli Parlimen Kepala Batas, ADUN Sungai Tua, ADUN Penaga, ADUN Pinang Tunggal, ADUN Permatang Berangan dan ADUN Teluk Air Tawar tetapi saya difahamkan bahawa jemputan taklimat turut dipanjangkan ke Yang Berhormat Tasek Gelugor namun tidak hadir. So, kemungkinan di sini ada gap dia lah di mana ada komunikasi yang perlu kita...
Datuk Wan Saifulruddin bin Wan Jan - Tasek Gelugor
Ada wakil yang hadir.
Tuan Haji Bakri bin Jamaluddin - Tangga Batu
Minta maaf. [Memberi isyarat agar Tasek Gelugor tidak mencelah]
Datuk Chan Foong Hin
Okey, okey. So, begitulah jawapan saya. Terima kasih.
Tuan Haji Bakri bin Jamaluddin - Tangga Batu
Baik, terima kasih Yang Berhormat Timbalan Menteri. Ahli Yang Berhormat sekalian, dengan ini tamatlah sesi Kamar Khas pada hari ini. Kamar Khas ini ditangguhkan sehingga hari Khamis, 16 Julai 2026, jam 2:30 petang. Sekian, terima kasih.
[Kamar Khas ditangguhkan pada pukul 3.36 petang]