Jul092026

Katalog Hansard

Kamar Khas

[Tuan Haji Ahmad Johnie bin Zawawi (Igan) **mempengerusikan Mesyuarat****]

2:30 PM
UCAPAN DI BAWAH USUL BERKENAAN PERKARA TADBIR KERAJAAN (P.M. 17)
KEKURANGAN DOKTOR DAN KRISIS SUMBER MANUSIA KESIHATAN DI SABAH

Tuan Mohd Kurniawan Naim bin Moktar - Kinabatangan

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam damai.

Tuan Yang di-Pertua, saya ingin mengemukakan usul kepada Yang Berhormat Menteri Kesihatan berhubung isu kekurangan doktor dan ketidakseimbangan sumber manusia kesihatan di Sabah yang semakin membimbangkan serta memberi kesan langsung terhadap akses dan kualiti perkhidmatan kesihatan rakyat, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman seperti di Kinabatangan.

Sabah merupakan negeri yang mempunyai keluasan geografi yang besar dengan taburan penduduk yang berselerak di kawasan pedalaman. Namun, negeri ini masih berdepan kekurangan pegawai perubatan, doktor pakar serta tenaga kesihatan berbanding keperluan sebenar. Keadaan ini menyebabkan kesesakan pesakit di hospital kerajaan, tempoh menunggu rawatan yang panjang, beban tugas yang tinggi kepada petugas kesihatan serta menjejaskan keberkesanan penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada rakyat.

Pada masa yang sama, isu kelewatan penyerapan doktor kontrak ke jawatan tetap terus menjadi kebimbangan. Ketika negara masih berdepan kekurangan pegawai perubatan, masih terdapat doktor kontrak yang menunggu peluang pelantikan tetap, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai perancangan tenaga kerja kesihatan negara dan keberkesanan mekanisme pengurusan sumber manusia Kementerian Kesihatan Malaysia.

Selain itu, ketidakseimbangan pengagihan doktor pakar dan pegawai perubatan antara Sabah dan Semenanjung turut memerlukan perhatian segera.

Faktor keluasan geografi, cabaran logistik, keadaan infrastruktur serta kesukaran akses ke kawasan pedalaman seharusnya diambil kira dalam penempatan pegawai perubatan bagi memastikan prinsip kesaksamaan dalam perkhidmatan kesihatan dapat direalisasikan.

Sehubungan itu, saya memohon Menteri Kesihatan menyatakan pelan tindakan segera kerajaan untuk menangani kekurangan doktor di Sabah, termasuk sasaran penambahan pegawai perubatan dan doktor pakar dalam tempoh jangka pendek, sederhana dan panjang. Menteri juga diminta menjelaskan jumlah doktor kontrak di Sabah yang masih menunggu penyerapan ke jawatan tetap, faktor yang menyebabkan kelewatan proses tersebut serta langkah mempercepatkan pelantikan.

Di samping itu, kementerian diminta menyatakan strategi pengagihan doktor yang lebih adil antara Sabah dan Semenanjung serta sama ada kerajaan bercadang memperkenalkan pakej insentif yang lebih kompetitif seperti elaun pedalaman yang dipertingkatkan, bantuan perumahan, kemudahan keluarga dan laluan kemajuan kerjaya yang lebih menarik kepada menggalakkan lebih ramai doktor berkhidmat di Sabah secara berterusan. Sekian, terima kasih.

2:32 PM

Tuan Haji Ahmad Johnie bin Zawawi - Igan

Minta Timbalan Menteri menjawab. Silakan.

2:32 PM

Timbalan Menteri Kesihatan - Dato Hajjah Hanifah Hajar Taib

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.

Tuan Yang di-Pertua, pihak kementerian menyedari bahawa peratus kekosongan perjawatan pegawai perubatan di Sabah adalah lebih tinggi berbanding dengan negeri-negeri di Semenanjung. Pada masa ini, jumlah pengisian jawatan pegawai perubatan di Sabah ialah perjawatan – 2,803 perjawatan; pengisian – 1,863 iaitu 66.5 peratus; cuti belajar – 366 iaitu 13.1 peratus; kosong – 570 iaitu 20.3 peratus. Bagi menampung kekosongan jawatan dan pegawai yang cuti belajar yang kesemuanya berjumlah 936 perjawatan, seramai 680 doktor kontrak ditempatkan di Sabah. Walau bagaimanapun, jumlah ini belum mencukupi kerana masih memerlukan seramai 256 orang pegawai perubatan.

Berhubung pertanyaan Yang Berhormat mengenai jumlah doktor kontrak di Sabah yang masih menunggu pelantikan tetap, KKM kini sedang menyegerakan urusan pengisian 4,500 pegawai perubatan secara lantikan tetap di seluruh negara yang dilaksanakan dalam dua fasa iaitu fasa pertama, seramai 328 orang yang ditawarkan lantikan tetap akan melapor diri bertugas ke fasiliti kesihatan KKM mulai 29 Jun 2026. Daripada jumlah tersebut, 39 pegawai telah ditetapkan di Sabah, namun hanya 20 pegawai telah melapor diri dan 19 pegawai menolak tawaran.

Fasa 2, 4,172 orang lagi akan ditawarkan lantikan tetap dan melapor diri pada Oktober 2026. Daripada jumlah tersebut, 560 orang akan ditempatkan di negeri Sabah. Secara keseluruhannya, pada tahun ini, seramai 560 pegawai akan dilantik secara tetap dan ditempatkan di negeri Sabah. Dengan menganggap kadar penerimaan adalah sebanyak 50 peratus, dijangka seramai 280 orang akan menerima penempatan di Sabah. Ini dapat membantu menutup jurang kekurangan seramai 256 pegawai seperti yang saya nyatakan tadi.

Tuan Yang di-Pertua, berdasarkan petunjuk kesihatan 2024, lapan negeri dan satu Wilayah Persekutuan termasuk negeri Sabah mempunyai nisbah pegawai perubatan lebih rendah berbanding nisbah nasional. Walau bagaimanapun, nisbah pegawai perubatan kepada penduduk di negeri Sabah pada tahun 2023 telah menunjukkan peningkatan sebanyak 25.1 peratus berbanding nisbah pada tahun 2020. Bagi meneruskan momentum ini, KKM melaksanakan beberapa inisiatif. Antaranya:

(a) mewajibkan pegawai perubatan kontrak yang dilantik tetap untuk memilih sekurang-kurangnya satu penempatan di Sabah, Sarawak atau Labuan menerusi penambahbaikan sistem e-placement mulai pada tahun 2025;

2:36 PM

Timbalan Menteri Kesihatan - Dato Hajjah Hanifah Hajar Taib

(b) menetapkan kuota penempatan bagi pegawai perubatan lantikan tetap sebanyak 650 di Sarawak dan 310 di Sabah menerusi sistem ePlacement. Jumlah kuota penempatan ini meliputi 42.7 peratus daripada keseluruhan 2,248 kuota penempatan ditetapkan; dan

(c) mulai 22 Jun 2026, sukacita saya maklumkan bahawa pegawai yang melapor diri di penempatan baharu sebagai Pegawai Perubatan Gred UD10 iaitu kontrak akan layak menerima tuntutan perpindahan seperti elaun makanan, bayaran sewa hotel, dan elaun lojing, tambang perjalanan, tambang pengangkutan barang, pemberian pindah, pemberian pindahan, belanja pelbagai tertakluk kepada peraturan perbendaharaan yang berkuat kuasa.

Sebagai langkah jangka masa panjang KKM bersama-sama agensi pusat dan Kementerian Pendidikan Tinggi sedang bekerjasama dan akan mengadakan perbincangan susulan untuk memastikan bekalan dan penawaran tenaga kerja kesihatan sentiasa memenuhi keperluan masa. Perbincangan pertama dijadualkan pada bulan Julai 2026.

KKM menghargai kesediaan petugas kesihatan yang sedia ditempatkan khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman. Antara kemudahan dan insentif yang diberikan antaranya ia adalah:

(a) bagi menampung kos pertukaran pegawai ke Sabah pegawai adalah layak diberikan elaun pertukaran yang merangkumi elaun makan, bayaran sewa hotel ataupun bayaran elaun lojing, tambang perjalanan dan tambang pengangkutan barang; dan

(b) sepanjang tempoh perkhidmatan di Sabah pegawai diberikan Bayaran Imbuhan Perumahan Wilayah (BIPW) sebanyak RM830 sehingga RM1,300 sebulan untuk pegawai perubatan siswazah iaitu housemen, pegawai perubatan iaitu medical officer dan pakar spesialis bagi menampung kos perubahan disebabkan pertukaran.

Tuan Yang di-Pertua, selain itu penyampaian perkhidmatan kesihatan bukan semata-matanya diberikan oleh doktor sahaja tetapi penolong pegawai perubatan dan jururawat juga adalah penting dan mempunyai peranan signifikan dalam memastikan kelangsungan perkhidmatan kepada komuniti di kawasan sukar dicapai iaitu hard to reach area. Perkhidmatan oleh doktor untuk komuniti kawasan pedalaman juga dilaksanakan secara berkala melalui perkhidmatan kesihatan udara. Sekian, terima kasih Tuan Yang di-Pertua Yang Berhormat Kinabatangan.

2:40 PM

Tuan Haji Ahmad Johnie bin Zawawi - Igan

Sila Yang Berhormat Kinabatangan untuk mengajukan soalan tambahan.

2:40 PM

Tuan Mohd Kurniawan Naim bin Moktar - Kinabatangan

Terima kasih Tuan Yang di-Pertua Speaker. Terima kasih juga Yang Berhormat Timbalan Menteri di atas pencerahan yang telah diberikan dengan adanya inisiatif-inisiatif yang baru itu saya berharap agar kekurangan doktor ini dapat diselesaikan dengan kadar yang segera kerana apabila kita menerima aduan daripada masyarakat setempat memang agak parahlah masa menunggu yang mengambil masa sehingga enam, tujuh jam bagi memeriksa untuk pesakit demam dan sebagainya. Namun ,saya ada kemusykilan juga di mana fasiliti-fasiliti luar bandar kesihatan Malaysia ini agak begitu tidak diambil berat dan dipandang ringan.

Saya mahu beri satu gambaran di mana ada sebuah bot klinik — bot bergerak di Kinabatangan yang begitu aktif sehingga lapan tahun lalu yang karam dan sehingga hari ini bot tersebut tidak lagi diwujudkan kembali. Justeru itu, saya mohon pencerahan Yang Berhormat Timbalan Menteri sama ada perkara ini dia ambil berat ataupun hanya ditutup sebelah mata oleh kerana mereka merupakan masyarakat yang duduk di luar daripada bandar. Sekian, terima kasih.

2:40 PM

Tuan Haji Ahmad Johnie bin Zawawi - Igan

Sila Yang Berhormat Timbalan Menteri.

2:40 PM

Dato Hajjah Hanifah Hajar Taib

Tuan Yang di-Pertua, antara kepentingan kita untuk cuba melengkapkan keperluan rakyat juga di dalam pedalaman kita ingin memastikan bahawa kita laksanakan — mendapatkan maklumat yang terkini misalannya data dan maklumat dari segi keadaan, dari segi barang keperluan seperti equipment juga dari segi infrastruktur klinik dan dari segi kepentingan sumber manusia. Insya-Allah saya akan menampilkan permohonan Yang Berhormat tentang klinik bergerak bot.

Sebenarnya saya tak pernah dengar tapi ia juga melihat dari segi kadar keberkesanan kegunaan bot itu kadang-kadang ada juga dari segi perkhidmatan yang telah ditambahbaikkan di klinik-klinik yang dilawati maka dan dinaiktarafkan — maka, dari segi mereka rasa bahawa ini kurang diperlukan untuk perkhidmatan bot tetapi insya-Allah kita akan usaha untuk mendapatkan satu kajian untuk mengesahkan jikalau lagi diperlukan insya-Allah saya akan mengalu-alukan pelaksanaannya. Terima kasih.

2:40 PM
IMPAK KONFLIK ASIA BARAT DAN RISIKO GANGGUAN SELAT HORMUZ TERHADAP EKONOMI NEGARA SERTA SABAH

Tuan Mohd Kurniawan Naim bin Moktar - Kinabatangan

Tuan Yang di- Pertua, bagi usul yang kedua saya ingin mengungkapkan usul kepada Yang Berhormat Timbalan Menteri Ekonomi berhubung implikasi konflik yang semakin memuncak di Asia Barat terhadap ekonomi Malaysia, khususnya sekiranya konflik tersebut mengganggu laluan strategik Selat Hormuz yang merupakan antara laluan perdagangan tenaga paling penting di dunia.

Selat Hormuz mengendalikan sebahagian besar perdagangan minyak mentah dan gas asli cecair global. Sebarang gangguan terhadap laluan ini berpotensi mencetuskan kenaikan mendadak harga tenaga dunia, meningkatkan kos pengangkutan dan logistik, mengganggu rantaian bekalan antarabangsa serta menjejaskan keyakinan pelabur terhadap ekonomi serantau dan global.

Malaysia sebagai sebuah ekonomi terbuka yang bergantung kepada perdagangan antarabangsa tidak terkecuali daripada kesan tersebut. Kenaikan harga bahan api dan kos pengangkutan berpotensi meningkatkan tekanan inflasi, menambah kos operasi perusahaan kecil dan sederhana, menjejaskan daya saing industri pembuatan serta memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi negara secara keseluruhan.

Kesan tersebut dijangka lebih ketara di Sabah memandangkan negeri ini bergantung kepada pengangkutan laut dan udara bagi sebahagian besar pergerakan barangan, bekalan makanan, bahan binaan serta input industri.

Sebarang peningkatan kos logistik akibat gangguan perdagangan global akan memberi tekanan tambahan kepada kos sara hidup rakyat Sabah yang sememangnya berdepan cabaran kos pengangkutan yang lebih tinggi berbanding Semenanjung.

Selain itu, sektor perladangan, perikanan, pelancongan, pembuatan serta perusahaan kecil dan sederhana di Sabah turut berisiko menghadapi peningkatan kos operasi sekiranya harga tenaga global terus meningkat. Situasi ini boleh menjejaskan daya tahan ekonomi negeri, mengurangkan margin keuntungan perniagaan serta memberi kesan kepada peluang pekerjaan dan pendapatan rakyat.

Sehubungan itu, saya memohon Timbalan Menteri menyatakan unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia sekiranya konflik di Asia Barat terus memuncak sehingga mengganggu laluan strategik Selat Hormuz serta menjelaskan analisis risiko yang telah dilaksanakan kerajaan terhadap kemungkinan berlakunya kejutan ekonomi global akibat konflik tersebut.

Saya juga meminta agar dinyatakan langkah mitigasi yang sedang dan akan dilaksanakan bagi mengurangkan kesan kenaikan kos tenaga dan logistik terhadap rakyat dan sektor perniagaan, khususnya di Sabah.

Di samping itu, apakah bentuk intervensi yang dirancang bagi memastikan kestabilan rantaian bekalan, mengawal tekanan inflasi, melindungi sektor-sektor strategik negara serta mengurangkan kesan ketidaktentuan geopolitik global terhadap pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan rakyat. Terima kasih.

2:46 PM

Tuan Haji Ahmad Johnie bin Zawawi - Igan

Sila Yang Berhormat Timbalan Menteri untuk menjawab.

2:46 PM

Timbalan Menteri Ekonomi - Dato’ Indera Mohd Shahar bin Abdullah

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Terima kasih Yang Berhormat Kinabatangan. Tuan Yang di-Pertua, kerajaan sentiasa memantau perkembangan konflik di Asia Barat serta implikasi terhadap ekonomi negara. Selat Hormuz merupakan antara laluan perdagangan minyak mentah dan gas asli cecair (LNG) yang paling penting di dunia. Gangguan terhadap laluan ini meningkatkan harga tenaga dunia, meningkatkan kos logistik serta menjejaskan rantaian bekalan global.

2:49 PM

Timbalan Menteri Ekonomi - Dato’ Indera Mohd Shahar bin Abdullah

Tuan Yang di-Pertua, berkaitan pertumbuhan ekonomi Malaysia dan Sabah. Pada masa ini, kesan gangguan perdagangan di Selat Hormuz terhadap ekonomi Malaysia adalah minimum. Pertumbuhan KDNK pada suku pertama 2026, berkembang pada kadar 5.4 peratus disokong dengan daya tahan ekonomi domestik dan permintaan dalam negeri yang kukuh. Prestasi eksport sektor E&E yang lebih baik juga telah membantu mengimbangi kesan gangguan luar tersebut.

Walau bagaimanapun, sasaran pertumbuhan ekonomi tahun ini yang diunjurkan pada 4.0 hingga 5.0 berisiko terjejas sekiranya konflik di Asia Barat memuncak dan berpanjangan.

Sebagai salah sebuah negeri di Malaysia, Sabah memasuki tahun 2026 dengan KDNK yang berkembang sebanyak 5.1 peratus pada tahun 2025. Dua sektor utama ekonomi Sabah pada tahun 2025 ialah sektor perkhidmatan sebanyak 52.1 peratus daripada KDNK dan sektor perlombongan dan pengkuarian sebanyak 22.0 peratus. Sektor perlombongan dan pengkuarian memberi kelebihan kepada ekonomi Sabah pada tahun 2026, apabila konflik di Asia Barat bermula, tetapi Tuan Yang di-Pertua, kelebihan tersebut diimbangi oleh tekanan inflasi dalam sektor perkhidmatan.

Berkaitan Yang Berhormat Kinabatangan, analisis risiko. Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang dipengerusikan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri mengadakan mesyuarat setiap minggu bagi memantau perkembangan krisis secara berterusan. Pasukan Petugas Pengurusan Krisis

(PPPK) turut ditubuhkan bagi membantu MTEN berdasarkan 1,013 indikator terpilih termasuk 61 indikator berfrekuensi tinggi. Sehingga 26 Jun 2026, beberapa penilaian impak ekonomi dapat dikenal pasti seperti berikut:

(i) tekanan langsung kepada kos operasi industri tempatan berikutan lonjakan kos operasi industri logistik dan bekalan terutamanya kos logistik marin. Kos pengangkutan freight global juga telah meningkat hampir dua kali ganda, manakala premium insurans bagi kapal dagang melonjak sehingga 16 kali ganda untuk satu perjalanan;

(ii) gangguan bekalan bagi komponen input pertanian memandangkan 63 peratus keperluan baja negara ditampung oleh baja import. Kos baja diunjurkan meningkat antara 15 peratus hingga 20 peratus manakala kos makanan ternakan meningkat sebanyak lapan peratus berikutan lonjakan kos pengangkutan logistik yang menggunakan bahan api serta kenaikan kos insurans yang berkaitan;

(iii) kadar inflasi masih terkawal dengan sedikit peningkatan kepada 2.0 peratus pada Mei 2026 daripada 1.9 peratus pada April 2026. Tekanan kos pada peringkat pengeluaran dalam negara memberi risiko peningkatan harga pengguna sekiranya isu gangguan rantaian bekalan tidak dibendung; dan

(iv) kadar penyertaan tenaga buruh kekal stabil pada 70.9 peratus pada suku tahun pertama 2026, menunjukkan lebih ramai rakyat terus berada dalam pasaran pekerjaan. Walau bagaimanapun, kadar pengangguran meningkat sedikit daripada 2.9 peratus pada Mac 2026 kepada 3.0 peratus pada April 2026 melibatkan seramai 511.8 ribu orang.

Tuan Yang di-Pertua, Ahli Yang Berhormat, langkah intervensi kerajaan.

Langkah intervensi kerajaan Yang Berhormat, melibatkan empat peningkatan utama.

(i) menjamin bekalan;

(ii) memanjang bekalan;

(iii) mengekang kenaikan harga; dan

(iv) memanfaatkan peluang.

Pendekatan ini Tuan Yang di-Pertua, bertujuan untuk melindungi rakyat, menstabilkan bekalan dan harga, menyediakan sokongan kepada firma dan industri serta mengukuhkan daya tahan ekonomi bagi tempoh sederhana dan panjang.

Ahli Yang Berhormat, berkaitan intervensi melibatkan perlindungan rakyat.

Bantuan tunai diperkukuhkan melalui Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bagi membantu golongan berpendapatan rendah dan rentan menampung peningkatan kos sara hidup akibat ketidaktentuan ekonomi global. Pada masa yang sama Dato' Yang di-Pertua, program Jualan Rahmah MADANI diperluaskan di seluruh negara bagi membantu rakyat mendapat barangan keperluan pada harga yang lebih rendah. Sehingga 30 Jun 2026, sebanyak 15,881 program telah dilaksanakan di seluruh negara termasuk 1,764 program di negeri Sabah.

Selain itu, penyelarasan subsidi bersasar RON95 dan diesel dilaksanakan dalam sistem BUDI dan MyKad bagi memastikan subsidi sampai kepada kumpulan yang layak, mengurangkan ketirisan serta menjamin kemampanan fiskal tanpa menjejaskan kesejahteraan rakyat.

Dato' Yang di-Pertua, berkaitan intervensi yang kedua, kestabilan bekalan dan harga. Penyelarasan turut dilakukan bersama PETRONAS dan pemain industri bagi memastikan kesinambungan bekalan tenaga di samping mempelbagaikan sumber bekalan bahan mentah. Pemantauan harian ke atas harga barangan keperluan mengikut lokasi turut dilaksanakan melalui platform PriceCatcher untuk membendung aktiviti pencatuan. Kerajaan juga memperkenalkan semula inisiatif bekerja dari rumah (BDR) bagi penjawat awam bermula 15 April 2026 sebagai langkah pengurusan permintaan tenaga bagi mengurangkan penggunaan bahan api dan tekanan kos perjalanan harian.

Di samping itu, penguatkuasaan diperkukuhkan melalui Ops Tiris 4.0 bagi membanteras aktiviti penyeludupan dan ketirisan subsidi bahan api. Langkah ini dilaksanakan melalui penempatan anggota penguatkuasaan di kawasan berisiko termasuk di sempadan serta penubuhan pasukan petugas khas di Sabah, Sarawak dan Labuan.

Bagi sokongan kepada firma dan industri, Dato' Yang di-Pertua, kerajaan memperluaskan penggunaan fleet card, Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi

(SKDS) kepada sektor pengangkutan darat barangan di Sabah, Sarawak dan Labuan. Langkah ini akan dapat membantu memastikan kos pengangkutan barang kekal terkawal serta mengurangkan kesan limpahan kepada harga barang pengguna. Kadar premis perniagaan milik kerajaan juga turut dikurangkan bagi membantu mengurangkan kos operasi PMKS.

Di samping itu, kerajaan memperkukuhkan daya tahan perusahaan kecil dan sederhana melalui bantuan pembiayaan dan pelaksanaan e-invois secara berperingkat bagi meningkatkan kecekapan operasi perniagaan. Kemudahan Bantuan Kestabilan PKS berjumlah RM5 bilion dan dana tambahan Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Berhad (SJPP) sebanyak RM5 bilion merupakan antara sokongan kewangan yang disediakan.

Dato' Yang di-Pertua, sehingga 18 Jun 2026, lebih RM700 juta pembiayaan di bawah Kemudahan Bantuan Kestabilan PMKS telah diluluskan kepada lebih 1,000 PMKS di seluruh negara termasuk untuk PMKS di Sabah. Bagi kemudahan jaminan pembiayaan di bawah SJPP pula, sebanyak 306 jaminan pembiayaan melibatkan RM218.94 juta telah diluluskan setakat 30 Jun 2024 termasuk 24 akaun di Sabah dengan nilai pembiayaan RM25.76 juta.

Dato' Yang di-Pertua, berkaitan keempat, pengukuhan daya tahan jangka sederhana dan panjang. Kerajaan akan memastikan keutamaan dan strategi yang dinyatakan dalam RMK13 diteruskan bagi memperkukuhkan daya tahan ekonomi sebagai langkah jangka sederhana dan panjang. Selain itu, pendekatan proaktif turut diambil untuk memanfaatkan perubahan landskap perdagangan global.

Tumpuan diberikan kepada penerokaan pasaran eksport baru dan memanfaatkan anjakan rantaian bekalan global apabila syarikat antarabangsa mempelbagaikan destinasi pelaburan serta sumber bekalan mereka.

Pembangunan sektor-sektor strategik yang berpotensi akan dipercepatkan untuk mendapat manfaat daripada perubahan tersebut seperti biodiesel, Industri Oil And Gas Services and Equipment (OGSE), teknologi bahan api alternatif serta sektor pelancongan. Langkah ini akan mengurangkan kebergantungan kepada pasaran atau sumber bekalan tertentu, meningkatkan daya saing negara, menarik pelaburan berkualiti dan mewujudkan peluang pertumbuhan baru.

Pada masa yang sama Ahli Yang Berhormat, kerajaan terus memperkukuhkan kerjasama ekonomi dengan rakan strategik melalui pendekatan government-to-government (G2G) bagi mempelbagaikan sumber bekalan dan mengurangkan kebergantungan kepada pasaran tertentu.

Kerjasama ini meliputi usaha menjamin bekalan tenaga, makanan, bahan mentah industri dan input pengeluaran bersama negara seperti Australia, Jepun, China, Rusia dan Turkmenistan.

Dato' Yang di-Pertua, kerajaan akan terus memantau perkembangan geopolitik global dan bersedia mengambil langkah yang bersesuaian dari semasa ke semasa bagi memastikan pertumbuhan ekonomi negara kekal mampan serta kesejahteraan rakyat terus terpelihara.

2:50 PM

Timbalan Menteri Ekonomi - Dato’ Indera Mohd Shahar bin Abdullah

Kerajaan juga akan terus bekerjasama rapat dengan kerajaan negeri Sabah melalui pendekatan keseluruhan kerajaan bagi memastikan kerantaian bekalan terus berfungsi dengan lancar dan rakyat Sabah dilindungi. Sekian, terima kasih.

3:00 PM

Tuan Haji Ahmad Johnie bin Zawawi - Igan

Sila Yang Berhormat Kinabatangan untuk mengajukan soalan.

3:00 PM

Tuan Mohd Kurniawan Naim bin Moktar - Kinabatangan

Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Terima kasih Timbalan Menteri Ekonomi sebuah jawapan yang baik dapat digulung dengan baik walaupun diganggu oleh Timbalan Menteri Sumber Manusia sebentar tadi.

Tuan Yang di-Pertua, hasil daripada pengamatan saya, konflik di Asia Barat ini bukan sahaja menjejaskan harga minyak malah meningkatkan kos bahan binaan, input pertanian dan logistik sehingga memberi tekanan kepada ekonomi negara. Oleh itu, saya ada beberapa kemusykilan untuk dibangkitkan.

Yang pertama, adakah kerajaan bercadang memperkenalkan mekanisme pelarasan harga bagi melindungi kontraktor tempatan daripada kenaikan mendadak harga bahan binaan akibat krisis global?

Yang kedua, apakah langkah segera untuk membantu petani menghadapi kenaikan kos baja racun dan pengangkutan supaya bekalan makanan negara terus terjamin dan harganya dapat dikawal?

Dan yang terakhir, adakah Kementerian Ekonomi telah menilai impak gangguan di Selat Hormuz terhadap ekonomi negara dan adakah kerajaan akan membangunkan satu rangka tindakan daya tahan ekonomi negara bagi menghadapi kejutan geopolitik pada masa yang mendatang? Sekian, terima kasih.

3:00 PM

Tuan Haji Ahmad Johnie bin Zawawi - Igan

Sila Yang Berhormat Timbalan Menteri untuk menjawab.

3:00 PM

Dato’ Indera Mohd Shahar bin Abdullah

Terima kasih Dato' Yang di- Pertua. Terima kasih Yang Berhormat Kinabatangan. Kerajaan amat prihatin terhadap cabaran yang dihadapi oleh kontraktor tempatan akibat turun naik harga bahan binaan global. Justeru, beberapa langkah intervensi telah dilakukan dan sedang dilakukan.

Yang pertamanya intervensi jangka pendek melibatkan penyediaan pinjaman mudah, soft loan menerusi inisiatif CAKNA, CAKNA II atau SPiKE serta pembayaran interim sebanyak dua kali sebulan.

Intervensi jangka sederhana melibatkan fleksibiliti dalam pentadbiran kontrak dengan memberi lanjutan tempoh EOT serta fleksibiliti dalam pentadbiran kontrak bagi menangani kenaikan kos di bawah 20 peratus dan melebihi 20 peratus bagi kerja-kerja penyelenggaraan jalan.

Untuk intervensi yang panjang Yang Berhormat, ia melibatkan penggantungan kontrak secara bersama mutual suspension dan open transfer untuk pekerja asing daripada sektor pembinaan ke sektor yang dipersetujui.

Selain itu, kontraktor dalam sektor pembinaan yang terjejas boleh turut memohon sepertimana yang saya telah maklumkan tadi melalui SJPP RM5 bilion jaminan pembiayaan tambahan. Ia juga dapat membantu untuk mendapatkan modal kerja, pembiayaan projek dari bank dan kerajaan juga menjamin pembiayaan sehingga 80 peratus dalam tempoh jaminan turut dipanjangkan sehingga kepada 10 tahun.

Berkaitan VOP syarat perubahan harga, kerajaan sedang mempertimbangkan pelaksanaan setelah harga diesel stabil. Selain itu, Kementerian Ekonomi, kementerian saya, Kementerian Kewangan, Kementerian Kerja Raya sedang menyelaras kelulusan bagi cadangan rescoping dan repackaging projek-projek yang sedang diteruskan dalam tempoh krisis.

Sehingga 27 April 2026, Kementerian Ekonomi telah menerima cadangan Dato' Yang di-Pertua sebanyak 233 projek dengan siling 769.48 juta daripada 19 kementerian yang boleh ditangguh pelaksanaannya di bawah RP1 2026. Walau bagaimanapun, terdapat sembilan kementerian yang tidak bercadang untuk menangguhkan sebarang pelaksanaan projek.

Berkaitan soalan Yang Berhormat yang kedua berkaitan sektor agromakanan dan bagaimana memperkukuhkan daya tahan, resiliency dalam sektor makanan ini, kerajaan telah sedang melaksanakan beberapa langkah strategi bagi menangani risiko gangguan bekalan baja susulan ketegangan geopolitik seperti berikut.

Yang pertamanya, kita mempelbagaikan sumber import bahan mentah baja bagi mengurangkan kebergantungan pada satu negara pembekal sahaja.

Yang kedua, kita melaksanakan perancangan forward procurement termasuk meningkatkan buffer stock, bahan mentah, pembuatan baja dan input makanan ternakan grain corn. Dan yang ketiganya, kita mendapat komitmen bekalan jangka sederhana dan panjang daripada pembekal antarabangsa, bahan mentah yang membuat baja seperti urea, rock phosphate dan muriate of potash (MOP).

Selain itu, kerajaan juga sedang melaksanakan beberapa langkah proaktif bagi memperkukuhkan daya tahan sektor agromakanan. Yang pertama, kita mempercepatkan pelaksanaan beberapa projek strategik bagi menggantikan import kepada pengeluaran domestik seperti penanaman jagung bijian sebagai sumber makanan ternakan serta tanaman bawang yang bergantung hampir 100 peratus kepada import, Dato' Yang di-Pertua.

Yang keduanya, memperkukuhkan perkhidmatan logistik, edaran hasil dan input pertanian bagi memastikan rantaian bekalan dari pusat pengeluaran kepada pusat pengedaran ke pasaran tidak terputus dan meminimumkan kerugian selepas tuai.

Yang ketiga, kita memantau dan memastikan pengurusan stockpile, harga dan bekalan makanan pada barang keperluan makanan dan asas berada pada tahap optimum untuk menyerap sebarang gangguan bekalan jangka pendek.

Dato’ Yang di-Pertua, yang ketiga adalah berkaitan rangka tindakan daya tahan ekonomi dan bagaimana penilaian risiko, kerajaan sentiasa memantau Yang Berhormat perkembangan ekonomi semasa melalui indikator terpilih bersama kementerian berkaitan dengan pemain industri mengikut sektor termasuk bekalan makanan dan tenaga. Ini termasuk sesi libat urus bersama pemain industri daripada pelbagai sektor.

Pemantauan juga dilaksanakan melalui mesyuarat mingguan. Next mesyuarat kita Dato' Yang di-Pertua pada hari Isnin nanti. Minggu hadapan yang dipengerusikan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri serta jawatankuasa berkaitan keterjaminan tenaga dan isu politik. Sudah pasti pendekatan ini membolehkan penilaian situasi industri dilakukan secara menyeluruh dari semasa ke semasa, manakala maklum balas industri dijadikan input utama dalam merangka dan melaksanakan intervensi dan tindakan susulan yang bersesuaian.

Dato' Yang di-Pertua, semasa kita menyediakan RMK13, cabaran luaran seperti konflik di Asia Barat yang berlaku kepada ketika itu tidak dikenal pasti sebagai antara cabaran yang perlu dihadapi dalam pembangunan sosioekonomi negara. Pada masa ini, kerajaan tiada cadangan untuk menyediakan satu rangka tindakan khusus lain kerana pelaksanaan reformasi struktur yang dirancang dalam RMK13 terutamanya di bawah tonggak A meningkatkan kerencaman ekonomi akan dapat mempertingkatkan daya tahan ekonomi negara pada masa yang hadapan. Terima kasih Ahli Yang Berhormat dan Dato' Yang di-Pertua.

3:00 PM
KEBERKESANAN BEKERJA DARI RUMAH DAN ATURAN KERJA ANJAL TERHADAP EKONOMI NEGARA, KEBAJIKAN PEKERJA DAN INSTITUSI KELUARGA

Dato’ Hajah Mumtaz binti Md Nawi - Tumpat

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Tuan Yang di-Pertua, saya mohon untuk membacakan usul. Tumpat ingin membangkitkan isu pelaksanaan bekerja dari rumah work from home (WFH) dan aturan kerja anjal, flexible work arrangement kepada Kementerian Sumber Manusia, sejauh manakah dasar ini memberi manfaat kepada ekonomi negara, majikan, pekerja dan institusi keluarga.

Tuan Yang di-Pertua, pindaan kepada Akta Kerja 1955 telah memperuntukkan hak kepada pekerja untuk memohon aturan kerja anjal melibatkan perubahan waktu, hari dan lokasi kerja. Walau bagaimanapun, pelaksanaan ini dilihat mampu mengurangkan — meningkatkan produktiviti, mengurangkan kos operasi, mengurangkan kesesakan lalu lintas dan meningkatkan penyertaan tenaga kerja. Ia juga menimbulkan cabaran berkaitan pemantauan prestasi, keselamatan siber, kerahsiaan maklumat, infrastruktur digital serta keseimbangan antara tuntutan kerja dan keluarga khususnya pasangan muda yang mempunyai anak kecil.

Sehubungan itu, saya ingin mendapatkan penjelasan daripada kerajaan berkenaan beberapa perkara:

(i) apakah penilaian kerajaan terhadap keberkesanan pelaksanaan WFH dan FWA terhadap produktiviti, hasil ekonomi dan penyertaan tenaga kerja negara?;

(ii) berapakah jumlah syarikat dan agensi yang melaksanakan WFH dan FWA mengikut sektor awam dan swasta sehingga kini?;

(iii) apakah model pelaksanaan di negara lain seperti Singapura, United Kingdom dan Belanda yang sudah dikaji untuk disesuaikan di Malaysia?;

(iv) adakah kerajaan bercadang menambah baik peruntukan undang-undang sedia ada supaya perlindungan pekerja lebih jelas?;

(v) apakah mekanisme bagi mengelakkan pekerja dihubungi di luar waktu pejabat, right to disconnect?;

(vi) apakah garis panduan berkaitan audit prestasi, pemantauan produktiviti dan penilaian kerja dalam sistem kerja WFH?;

(vii) apakah langkah melindungi kerahsiaan maklumat organisasi dan keselamatan siber?;

(viii) adakah majikan diberi insentif bagi menyediakan kemudahan digital, peralatan kerja dan bantuan internet kepada pekerja?;

(ix) memandangkan majikan berpotensi menjimatkan kos premis, utiliti dan operasi melalui WFH, apakah kerajaan bercadang untuk memastikan sebahagian penjimatan ini diterjemahkan kepada manfaat ekonomi kepada pekerja melalui elaun utiliti rumah, internet, penjagaan anak dan insentif cukai?; dan

3:08 PM

Dato’ Hajah Mumtaz binti Md Nawi - Tumpat

(x) apakah langkah khusus membantu pasangan muda yang mempunyai anak kecil termasuk aspek penjagaan anak, kesejahteraan keluarga dan peningkatan penyertaan wanita bekerja.

Sekian, terima kasih.

3:10 PM

Tuan Haji Ahmad Johnie bin Zawawi - Igan

Sila Yang Berhormat Timbalan Menteri untuk menjawab.

3:10 PM

Timbalan Menteri Sumber Manusia - Datuk Khairul Firdaus bin Akbar Khan

Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Saya ingin memperbetulkan kenyataan daripada Ahli Parlimen Kinabatangan berkenaan gangguan yang telah dituduh saya lakukan ke atas Timbalan Menteri Ekonomi sebentar tadi.

3:10 PM

Tuan Haji Ahmad Johnie bin Zawawi - Igan

Tak ada gangguan?

3:10 PM

Datuk Khairul Firdaus bin Akbar Khan

Perkara itu tidak benar sebenarnya.

3:10 PM

Tuan Haji Ahmad Johnie bin Zawawi - Igan

Ya.

3:10 PM

Datuk Khairul Firdaus bin Akbar Khan

Saya ulang sekali lagi. Tidak benar.

3:10 PM

Tuan Mohd Kurniawan Naim bin Moktar - Kinabatangan

Saya tarik balik, Yang di-Pertua.

3:10 PM

Tuan Haji Ahmad Johnie bin Zawawi - Igan

Tarik balik.

3:10 PM

Datuk Khairul Firdaus bin Akbar Khan

Terima kasih kerana sudi untuk menarik balik kenyataan yang nakal itu ya.

Tuan Yang di-Pertua, isu pelaksanaan bekerja dari rumah (BDR), work from home (WFH) dan aturan kerja anjal (AKF), flexible work arrangement (FWA) yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Tumpat bukan sahaja melibatkan peranan dan tanggungjawab Kementerian Sumber Manusia bagi pekerja-pekerja di sektor swasta tetapi juga menyentuh peranan dan tanggungjawab Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang bertindak sebagai agensi pusat yang merancang, menggubal dan mengurus dasar sumber manusia serta perkhidmatan sektor awam di Malaysia.

Bagi sektor swasta, pindaan Akta Kerja 1955 yang berkuat kuasa pada 1 Januari 2023 telah memperkenalkan peruntukan berkaitan aturan kerja fleksibel

(AKF) melalui seksyen 60P dan 60Q yang memberi hak kepada pekerja untuk memohon perubahan waktu kerja, hari bekerja atau tempat bekerja termasuk bekerja dari rumah (BDR) tertakluk kepada pertimbangan dan kelulusan majikan.

Manakala di sektor awam, berdasarkan maklumat Jabatan Perkhidmatan Awam, di bawah Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia (PPSM) ceraian SR.4.1.2: Bekerja Dari Rumah, dari segi produktiviti, ketua jabatan dikehendaki untuk menetapkan dan memantau output pegawai yang bekerja dari rumah (BDR) bagi memastikan penyampaian perkhidmatan tidak terjejas.

Tuan Yang di-Pertua, bagi menjawab persoalan mengenai jumlah syarikat atau agensi yang melaksanakan WFH dan FWA serta keberkesanan pelaksanaannya. Untuk makluman Dewan yang mulia, Akta Kerja 1955 tidak mewajibkan majikan melaporkan pelaksanaan AKF kepada Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM). Oleh yang demikian, tiada rekod data rasmi jumlah syarikat sektor swasta yang melaksanakan AKF mahupun BDR.

Walau bagaimanapun, JTKSM mendapati amalan ini semakin diterima terutamanya dalam sektor perkhidmatan, kewangan, teknologi maklumat dan perkhidmatan profesional. Dari segi keberkesanannya pula, berdasarkan Kajian Impak Aturan Kerja Fleksibel (AKF) yang dilaksanakan oleh Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) di Lembah Klang, Johor dan Pulau Pinang menunjukkan bahawa dari aspek produktiviti, dapatan kajian mendapati 80 peratus pekerja di Lembah Klang melaporkan peningkatan kepada prestasi kerja selepas pelaksanaan AKF. Di Johor, 72 peratus pekerja menyatakan mereka lebih produktif apabila diberikan fleksibiliti menentukan waktu mula dan tamat kerja.

64.4 peratus melaporkan amalan bekerja dari rumah (BDR) membantu meningkatkan fokus dalam melaksanakan tugasan. Manakala dapatan kajian di Pulau Pinang menunjukkan 77 peratus majikan melaporkan peningkatan kecekapan operasi selepas melaksanakan AKF.

Dari aspek ekonomi, pelaksanaan AKF telah membantu meningkatkan kecekapan operasi dan mengurangkan kos perniagaan. Kajian mendapati sebanyak 76.5 peratus pekerja melaporkan penjimatan kos perjalanan termasuk petrol, tol dan tambang pengangkutan awam hasil pelaksanaan AKF.

Dari aspek penyertaan tenaga kerja, AKF menyediakan fleksibiliti yang membolehkan lebih ramai individu khususnya wanita, ibu bapa, penjaga ahli keluarga, warga emas yang masih produktif serta individu yang berdepan kekangan mobiliti untuk terus menyertai atau kekal dalam pasaran pekerjaan negara.

Pendekatan ini selaras dengan usaha kerajaan untuk meningkatkan kadar penyertaan tenaga buruh khususnya dalam kalangan wanita, di samping mewujudkan persekitaran kerja yang lebih inklusif dan responsif terhadap keperluan tenaga kerja masa kini.

Tuan Yang di-Pertua, berkaitan persoalan model pelaksanaan di negara yang dikaji terkait dengan AKF dan penambahbaikan dari segi undang-undang sedia ada. Kerajaan sentiasa meneliti amalan terbaik di peringkat antarabangsa termasuk pendekatan yang diamalkan oleh negara-negara lain yang memberi penekanan kepada fleksibiliti kerja, keseimbangan kehidupan dan pekerjaan serta peningkatan penyertaan tenaga kerja. Walau bagaimanapun, sebarang penambahbaikan dasar perlu mengambil kira kesesuaian dengan struktur pasaran buruh serta penambahbaikan polisi dan juga penglibatan pemegang taruh.

Bagi cadangan penambahbaikan perundangan, kementerian sentiasa meneliti keberkesanan pelaksanaan peruntukan AKF sejak diperkenalkan pada tahun 2023. Sebarang keperluan untuk memperkukuhkan perlindungan pekerja dan memperjelaskan tanggungjawab majikan, akan dikaji dari semasa ke semasa berdasarkan pengalaman pelaksanaan dan maklum balas pihak berkepentingan.

Mengenai mekanisme berkaitan right to disconnect. Buat masa ini, Akta Kerja 1955 belum memperuntukkan hak khusus berkaitan right to disconnect. Walau bagaimanapun, majikan digalakkan menetapkan polisi dalaman yang jelas berkaitan komunikasi di luar waktu kerja, waktu rehat dan kesejahteraan pekerja bagi mengelakkan gangguan yang tidak munasabah terhadap kehidupan peribadi pekerja.

Tuan Yang di-Pertua, mengenai garis panduan berkaitan audit prestasi dan pemantauan produktiviti. Pada masa ini, kementerian ini tidak menetapkan kaedah khusus bagi audit prestasi atau pemantauan produktiviti pekerja yang melaksanakan AKF. Perkara tersebut merupakan prerogatif pengurusan majikan tertakluk kepada kontrak perkhidmatan dan dasar syarikat. Walau bagaimanapun, amalan pengurusan yang adil, telus dan berasaskan hasil kerja adalah digalakkan.

Walau bagaimanapun, melalui program FWA@Workplace, TalentCorp telah memberi pendedahan kepada majikan mengenai amalan terbaik dalam mengurus prestasi pekerja di bawah AKF. Ini termasuk pendekatan penilaian berasaskan hasil kerja (outcome-based performance management), penetapan petunjuk prestasi utama (KPI) yang jelas, pemantauan kemajuan tugasan secara berkala serta penggunaan teknologi dan perisian yang bersesuaian untuk membantu organisasi mengurus prestasi pekerja secara lebih berkesan. Melalui bengkel dan sesi konsultasi yang dijalankan, majikan turut didedahkan kepada pelbagai kaedah dan perisian pengurusan prestasi yang boleh dipertimbangkan berdasarkan saiz, keperluan dan model operasi organisasi masing-masing.

Pendekatan ini membolehkan majikan melaksanakan AKF tanpa menjejaskan produktiviti, akauntabiliti dan pencapaian organisasi.

Tuan Yang di-Pertua, berkaitan kerahsiaan maklumat organisasi dan keselamatan siber. Ini merupakan aspek penting yang perlu diberi perhatian dalam pelaksanaan AKF termasuk BDR. Bagi sektor swasta, langkah perlindungan yang dilaksanakan adalah tertakluk kepada dasar keselamatan maklumat dan pengurusan risiko setiap organisasi. Melalui program FWA@Workplace, TalentCorp turut memberi penerangan dan khidmat nasihat kepada majikan mengenai amalan terbaik dalam melindungi data dan maklumat organisasi semasa pelaksanaan AKF.

Antara langkah yang sering disarankan termasuk penggunaan perisian dan platform digital yang selamat, kawalan akses kepada sistem organisasi, penggunaan rangkaian yang dilindungi, pengurusan kata laluan yang baik, latihan kesedaran keselamatan siber kepada pekerja serta pematuhan kepada dasar keselamatan maklumat organisasi. Di samping itu, TalentCorp menggalakkan majikan untuk mewujudkan polisi dalaman yang jelas berkaitan dengan penggunaan peranti, pengendalian dokumen sulit dan akses kepada sistem organisasi bagi memastikan pelaksanaan AKF dapat dilaksanakan secara selamat tanpa menjejaskan kerahsiaan maklumat dan integriti data organisasi.

Tuan Yang di-Pertua, berkaitan insentif bagi penyediaan kemudahan digital, peralatan kerja dan bantuan internet kepada pekerja. Bagi menggalakkan pelaksanaan aturan kerja fleksibel (AKF) dalam sektor swasta, kerajaan menyediakan insentif cukai kepada majikan yang melaksanakan AKF selaras dengan syarat dan garis panduan yang ditetapkan. Insentif potongan cukai sebanyak 50 peratus merangkumi perbelanjaan yang layak dituntut bagi tujuan pelaksanaan AKF termasuk kos pembangunan kapasiti seperti latihan kepada pekerja serta kos perolehan perisian yang diperlukan untuk menyokong pelaksanaan AKF dan pendigitalan kaedah kerja.

3:10 PM

Datuk Khairul Firdaus bin Akbar Khan

Syarikat yang memenuhi syarat kelayakan boleh memohon insentif ini melalui TalentCorp bagi tahun taksiran 2025 hingga 2027. Insentif ini diberikan secara one-off dengan jumlah tuntutan yang layak sehingga RM500,000 tertakluk kepada syarat dan garis panduan yang ditetapkan oleh kerajaan. Tuan Yang di- Pertua, saya perlukan seminit lagi.

3:20 PM

Tuan Haji Ahmad Johnie bin Zawawi - Igan

Sila.

3:20 PM

Datuk Khairul Firdaus bin Akbar Khan

Mengenai langkah khusus membantu pasangan muda yang mempunyai anak kecil termasuk aspek penjagaan anak, kesejahteraan keluarga dan peningkatan penyertaan wanita bekerja. Pelaksanaan AKF merupakan salah satu langkah yang dilihat dapat membantu pasangan muda yang mempunyai anak kecil melalui fleksibiliti pengurusan masa kerja dan tanggungjawab keluarga.

Selain itu, pindaan Akta Kerja 1955 turut memperkenalkan cuti paterniti berbayar selama tujuh hari bagi menyokong usaha memperkukuh institusi keluarga dan meningkatkan penglibatan bapa dalam penjagaan anak. Kerajaan akan terus menggalakkan amalan kerja yang fleksibel dan progresif selaras dengan keperluan pasaran buruh semasa, di samping memastikan keseimbangan antara kepentingan pekerja, majikan dan produktiviti ekonomi negara.

Pendekatan ini dapat menyokong kesejahteraan keluarga serta menggalakkan lebih ramai wanita untuk terus kekal atau kembali menyertai pasaran pekerjaan. Kajian TalentCorp mendapati bahawa fleksibiliti kerja merupakan antara faktor penting yang membantu pekerja mengekalkan keseimbangan antara pekerjaan dan kehidupan peribadi, di samping meningkatkan kepuasan kerja dan komitmen terhadap organisasi.

Sehubungan dengan itu, kementerian akan terus mempergiat usaha advokasi dan kesedaran kepada majikan mengenai manfaat pelaksanaan AKF, dengan harapan lebih banyak organisasi akan mengamalkan budaya kerja yang fleksibel dan inklusif demi menyokong kesejahteraan pekerja serta meningkatkan penyertaan tenaga kerja, khususnya dalam kalangan wanita. Semoga jawapan yang diberikan ini mampu memenuhi cita rasa Yang Berhormat Tumpat. Sekian, terima kasih.

3:20 PM

Tuan Haji Ahmad Johnie bin Zawawi - Igan

Sila Yang Berhormat Tumpat untuk ajukan soalan tambahan.

3:20 PM

Dato’ Hajah Mumtaz binti Md Nawi - Tumpat

Terima kasih Yang di- Pertua. Saya mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada pihak kerajaan kerana saya mendengar satu jawapan yang sangat saya puas hati berkenaan dengan laporan daripada TalentCorp tentang tahap kepuasan pekerja setelah diadakan AKF dan juga BDR.

Soalan saya ialah walaupun akta ini membenarkan pekerja memohon majikan untuk bekerja dari rumah ataupun kerja fleksibel majikan masih berhak untuk menolak dan kita dengar tadi dapatannya sangat mengujakan. Adakah kerajaan bercadang untuk memperketatkan syarat penolakan supaya ia benar- benar berdasarkan kepada keperluan operasi dan bukannya dari budi bicara semata-mata sebagai contohnya penemuan saya dengan beberapa orang tokoh anak muda menyarankan supaya daripada AKF, aturan kerja fleksibel dijadikan terus kepada akta kerja fleksibel untuk memberikan hak yang lebih banyak kepada pekerja dan juga majikan dalam memberikan garis panduan yang lebih jelas kepada negara kerana kita tahu ini perkara yang lebih baik. Pertama.

Yang kedua, tadi kita dengar daripada TalentCorp. Saya percaya bahawa kajian ini dibuat kepada golongan profesional yang kita kira lebih menikmati manfaat WFH ataupun BDR berbanding pekerja sektor perkilangan, peruncitan dan perkhidmatan. Jadi, adakah KESUMA akan mempunyai dasar bagi memastikan manfaat AKF ini turut dinikmati pekerja B40 dan M40 yang tidak boleh bekerja dari rumah? Terima kasih.

3:20 PM

Tuan Haji Ahmad Johnie bin Zawawi - Igan

Sila Yang Berhormat Timbalan Menteri untuk menjawab.

3:20 PM

Datuk Khairul Firdaus bin Akbar Khan

Terima kasih atas pandangan yang telah dilontarkan oleh Yang Berhormat Tumpat. Pertama, dalam setiap perubahan akta ataupun pembaharuan akta perlu ada sesi libat urus dengan pemegang taruh hasil daripada perbincangan dan juga sesi libat urus dengan pemegang taruh barulah kita tahu dan kita boleh mengenal pasti adakah tindakan susulan itu benar-benar bersesuaian dengan kehendak industri, kehendak ekosistem dan yang paling penting adakah yang membawa kemenangan win, win solution kepada pihak majikan dan juga pihak pekerja.

Saya mengambil maklum atas pandangan yang mempunyai asas kukuh untuk kita memperlihatkan perkara yang dibangkitkan tadi dengan cara serius.

Setiap langkah yang diambil kelak kita akan maklumkan kepada Yang Berhormat Tumpat supaya Yang Berhormat Tumpat juga boleh bersama-sama dengan kita untuk melihat perkara yang mahu dilakukan ini benar-benar memberi kesan yang baik kepada keseluruhan rakyat kita di negara ini. Sekian, terima kasih Yang Berhormat Tumpat.

3:20 PM
KEBERKESANAN PELAN TINDAKAN DAN PENGUATKUASAAN KAWALAN PENCEMARAN MARIN NEGARA

Dato’ Hajah Mumtaz binti Md Nawi - Tumpat

Tuan Yang di-Pertua, saya mohon untuk menyatakan usul kepada kementerian. Pertama, Malaysia cakna dan komited dengan penjagaan kelestarian alam sekitar termasuk marin dan khazanahnya.

Negara kita telah menguatkuasakan pelbagai instrumen perundangan bagi mengawal dan menangani isu pencemaran marin termasuk pelepasan minyak, bahan berbahaya serta sisa kumbahan puluhan ribu kapal yang boleh mengganggu keseimbangan ekosistem laut negara, khususnya di Selat Melaka.

Antara sistem yang sedia ada termasuklah National Oil Spill Contingency Plan (NOSCP) Malaysia dan Sistem Pengurusan Air Pemberat (BWMS). Ini sangat kritikal kerana kita menjadi antara selat paling sibuk dalam dunia dari segi perdagangan global.

Tuan Yang di-Pertua, justeru saya ingin meminta penjelasan mengenai perkara-perkara berikut:

(i) apakah penilaian terkini kerajaan terhadap keberkesanan pelaksanaan NOSCP dan BWMS dalam mengawal pencemaran laut khususnya di Selat Melaka?;

(ii) berapakah purata kapal-kapal perdagangan luar negara yang melalui Selat Melaka setiap bulan dari tahun 2020 sehingga 2025? Negara manakah yang paling tinggi jumlah kapalnya?;

(iii) berapakah jumlah pemeriksaan kapal-kapal perdagangan yang melalui Selat Melaka yang telah dijalankan oleh Jabatan Laut Malaysia berkaitan pematuhan pengurusan air pemberat (ballast water) dalam tempoh lima tahun yang lalu;

(iv) adakah insiden-insiden ini direkodkan sebagai satu data penjagaan marin secara teratur?;

(v) berapakah kes yang telah disiasat, tindakan pendakwaan, kompaun atau penalti terhadap pemilik dan operator kapal dari tahun 2020 sehingga 2025?;

(vi) sekiranya berlaku insiden pelepasan bahan pencemar oleh kapal dagang, bagaimanakah penyelarasan operasi antara Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Laut Malaysia dan pemain industri dapat dilaksanakan dengan segera?;

(vii) adakah Malaysia melaksanakan prinsip Polluter Pays Principle (PPP) bagi memastikan pampasan segera tanpa birokrasi yang panjang?;

(viii) adakah kerajaan bercadang mewujudkan entiti bagi menyelaras semua insiden pencemaran laut secara berpusat national marine environmental emergency centre?;

(ix) apakah penambahbaikan dasar dan pindaan undang- undang termasuk akta yang telah dilaksanakan hasil daripada insiden-insiden tersebut?;

(x) sejauh manakah penggunaan teknologi pemantauan seperti satelit Synthetic Aperture Radar (SAR), Sistem Identifikasi Automatik (AIS) dan sensor laut berasaskan Internet of Things (IoT) telah diintegrasikan ke dalam sistem amaran awal bagi mengesan aktiviti tumpahan minyak dan pencemaran marin di Selat Melaka?;

(xi) benarkah dakwaan bahawa sehingga kini terdapat hampir 330 hidupan laut yang telah terjejas dan berpotensi pupus akibat daripada pencemaran laut ini?; dan

(xii) sejauh manakah MOU kita dengan negara jiran seperti Singapura dan Indonesia dalam kawalan pencemaran marin khususnya di perairan antarabangsa yang dikongsi bersama ini.

Sekian, terima kasih.

3:25 PM

Tuan Haji Ahmad Johnie bin Zawawi - Igan

Minta Yang Berhormat Timbalan Menteri Pengangkutan untuk menjawab.

3:25 PM

Timbalan Menteri Pengangkutan - Datuk Haji Hasbi bin Haji Habibollah

Terima kasih. Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Yang di-Pertua, saya mohon jawapan agak panjang kalau boleh saya memang lebih masa lah tapi soalan penghabisan.

3:27 PM

Tuan Haji Ahmad Johnie bin Zawawi - Igan

Silakan.

3:27 PM

Datuk Haji Hasbi bin Haji Habibollah

Sebab dah alang-alang semua prepare dah maklumat supaya tak ada lagi jawapan tambahan — soalan tambahan.

Jadi Tuan Yang di-Pertua, kerajaan melalui Kementerian Pengangkutan, Jabatan Laut Malaysia, Jabatan Alam Sekitar, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia serta agensi-agensi berkaitan senantiasa komited dalam memastikan perlindungan alam sekitar marin negara selaras dengan obligasi antarabangsa Malaysia di bawah International Maritime Organization (IMO), MARPOL Convention, Ballast Water Management Convention (BWMC), Oil Pollution Preparedness, Response and Co-operation Convention ataupun OPRC Convention serta United Nations Convention on the Law of the Sea (UNCLOS).

Malaysia sebagai sebuah negara maritim dan trading nation yang strategik di laluan Selat Melaka dan Selat Singapura senantiasa memberi keutamaan tinggi kepada aspek:

(i) keselamatan pelayaran;

(ii) perlindungan alam sekitar marin;

(iii) kesiapsiagaan kecemasan pencemaran; dan

(iv) penguatkuasaan pematuhan kapal antarabangsa.

Jadi, saya akan menjawab satu persatu soalan yang dikemukakan.

Nombor satu iaitu berkaitan apakah penilaian terkini kerajaan terhadap keberkesanan pelaksanaan NOSCP dan BWMS dalam mengawal pencemaran?

Kerajaan senantiasa komited memastikan keberkesanan langkah-langkah pencegahan dan tindak balas terhadap pencemaran marin melalui pelaksanaan National Oil Spill Contingency Plan (NOSCP) serta penguatkuasaan keperluan di bawah International Convention for the Control and Management of Ships' Ballast Water and Sediments, 2004 iaitu dipanggil BWM Convention. Bagi pelaksanaan NOSCP, Jabatan Laut Malaysia bekerjasama rapat dengan Jabatan Alam Sekitar, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, pihak industri dan agensi-agensi berkaitan dalam memastikan tindakan tindak balas terhadap insiden tumpahan minyak dapat dilaksanakan secara bersepadu dan berkesan.

3:27 PM

Datuk Haji Hasbi bin Haji Habibollah

Di bawah mekanisme ini, Jabatan Laut Malaysia turut memainkan peranan sebagai On-Scene Commander (OSC) bagi insiden tertentu mengikut pembahagian tanggungjawab yang ditetapkan dalam Malaysia Oil Spill Contingency Plan (MOSCoP) termasuk menyelaras operasi di lokasi kejadian bersama semua agensi yang terlibat.

Bagi memastikan pelan ini sentiasa relevan dengan perkembangan semasa, Malaysia Oil Spill Contingency Plan (MOSCoP) disemak secara berkala, lazimnya setiap lima tahun. Semakan ini bertujuan menilai keberkesanan pelaksanaan, mengambil kira pengalaman daripada insiden sebenar, hasil latihan dan simulasi, perkembangan teknologi serta penambahbaikan terhadap mekanisme penyelarasan antara agensi dan pihak industri bagi memastikan kesiapsiagaan negara sentiasa berada pada tahap optimum.

Bagi Ballast Water Management System (BWMS) pula, Malaysia telah meratifikasi BWM Convention dan Jabatan Laut Malaysia bertanggungjawab memastikan pematuhan terhadap konvensyen tersebut bagi kapal-kapal berdaftar Malaysia. Antara langkah yang dilaksanakan termasuk pengiktirafan Recognized Organizations (RO) untuk menjalankan pemeriksaan dan mengeluarkan sijil berkaitan ballast water management kepada kapal-kapal Malaysia mengikut keperluan konvensyen.

Di samping itu, pematuhan kapal asing dipantau melalui pemeriksaan Port State Control (PSC) di pelabuhan-pelabuhan Malaysia, manakala syarikat perkapalan turut dinilai melalui pelaksanaan International Safety Management

(ISM) Code Audit bagi memastikan sistem pengurusan keselamatan dan perlindungan alam sekitar termasuk pematuhan terhadap keperluan pengurusan air pemberat dilaksanakan secara berterusan.

Secara keseluruhannya, pelaksanaan MOSCoP dan BWMS telah memperkukuhkan keupayaan negara dalam mencegah serta mengurus risiko pencemaran marin melalui pendekatan yang menggabungkan aspek pencegahan, pemantauan, penguatkuasaan dan tindak balas secara bersepadu.

Perkara kedua, iaitu berkaitan purata kapal-kapal luar negara yang melalui Selat Melaka dari tahun 2020 hingga 2025. Selat Melaka dan Selat Singapura kekal sebagai antara laluan perkapalan paling sibuk di dunia dan merupakan strategic maritime chokepoint yang sangat penting kepada perdagangan antarabangsa. Puluhan ribu kapal perdagangan antarabangsa melalui laluan tersebut setiap tahun yang melibatkan kapal tangki, kapal kontena, LNG carrier, bulk carrier dan pelbagai jenis kapal perdagangan yang lain.

Kapal-kapal tersebut terdiri daripada pelbagai negara perdagangan utama dunia termasuk Panama, Singapura, China, Liberia, Marshall Islands dan Hong Kong. Keadaan ini menjadikan aspek pengurusan keselamatan pelayaran dan perlindungan alam sekitar marin sebagai satu keutamaan strategik negara. Purata kapal perdagangan luar negara yang melalui Selat Melaka bagi tempoh tahun 2020 sehingga 2025 adalah dianggarkan sebanyak 6,968 buah kapal sebulan, lebih kurang 7,000 lah sebulan dan negara yang mencatatkan jumlah tertinggi ialah Panama.

Perkara ketiga pula iaitu jumlah pemeriksaan, jumlah pemeriksaan kapal- kapal perdagangan yang melalui Selat Melaka. Tiada pemeriksaan dijalankan secara khusus tetapi pemeriksaan dilaksanakan melalui pemeriksaan Port State Control iaitu untuk Ballast Water Management Record Book. Pelaksanaan Konvensyen Pengurusan Air Pemberat (BWM 2004) telah dikuatkuasakan di Malaysia bermula 8 September 2017 melalui Notis Perkapalan Malaysia (MSN 07/2017).

Kapal-kapal diwajibkan menguruskan air pemberat melalui pertukaran atau rawatan serta dilarang melepaskan air yang tidak dirawat ke perairan Malaysia tanpa kelulusan pegawai pelabuhan. Pertukaran air pemberat mesti dilakukan pada jarak lebih 200 batu nautika dari daratan dan kedalaman sekurang-kurangnya 200 meter dan sekarang ini, untuk melepaskan ballast water ini ialah sekarang kapal-kapal moden in sudah ada treatment plant sendiri di dalam kapal. Sebab, kalau dia buang air keluar, masuk. Kalau di tengah lautan, kalau ada ombak, kapal boleh jadi terbaliklah. Jadi sekarang ini, sudah hampir semua kapal-kapal punya loji sendiri untuk mencuci air itu sebelum dilepaskan.

Keempat adalah insiden-insiden direkodkan sebagai daya penjagaan marin secara teratur. Bagi rekod insiden, Jabatan Laut Malaysia akan melaksanakan siasatan dan menyediakan laporan menyeluruh termasuk cadangan penambahbaikan seterusnya melaporkan ke dalam GISIS, the IMOs Global Integrated Shipping Information System used in maritime administration. IMO telah membangunkan sistem GISIS ini bagi membolehkan makluman dikumpul dan mengambil tindakan yang berkaitan. Pada masa ini, tiada data insiden melibatkan pencemaran di bawah BWMC, manakala bagi rekod pencemaran minyak pada tahun 2020, satu kes melibatkan pelepasan heavy fuel oil dari kapal ke laut di perairan Malaysia. Somewhere berdekatan dengan PD lah, Pulau Cermin, dulu ya.

Jadi, persoalan lima ialah berapa kes yang telah disiasat, tindakan pendakwaan, kompaun atau penalti. Bilangan kes yang telah disiasat adalah satu iaitu pada tahun 2020. Kesalahan adalah melepaskan minyak heavy fuel oil dari kapal ke laut di dalam perairan Malaysia. Namun begitu, kes berkenaan tidak dapat diambil tindakan memandangkan tiada kapal berada di kawasan berkenaan yang boleh dikaitkan dengan kejadian tersebut. Walau bagaimanapun, terdapat peruntukan di bawah seksyen 306CA(1) Ordinan Perkapalan Saudagar (OPS) tahun 1952 dan kesalahan tersebut boleh dikenakan kompaun tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Keenam ialah sekiranya berlaku insiden pelepasan pencemaran kapal dagang, bagaimana penyelarasan operasi? Malaysia Oil Spill Contingency Plan

(MOSCoP) merupakan satu rancangan menyeluruh yang menerangkan fungsi dan tanggungjawab setiap pihak yang terlibat sama ada pihak kerajaan mahupun industri. Penyelarasan ini dapat dibuat melalui MOSCoP dengan:

(i) pengaktifan sistem komunikasi segera yang berkesan di antara pihak yang terlibat;

(ii) pembahagian peranan yang jelas. Sebagai contoh, JAS merupakan agensi peneraju manakala JLM pula adalah On-Scene Commander bagi tumpahan minyak dari kapal di laut; dan

(iii) strategi kawalan dan respons kepada tumpahan minyak dibuat berdasarkan tahap (tier response) iaitu penyelarasan dibuat berdasarkan skala tumpahan minyak.

Ketujuh, adakah Malaysia melaksanakan prinsip Polluter Pays Principle? Malaysia melaksanakan prinsip Polluter Pays Principle (PPP) melalui pelaksanaan rejim liabiliti dan pampasan antarabangsa bagi pencemaran minyak daripada kapal. Rejim ini adalah berdasarkan Konvensyen Antarabangsa seperti berikut;

(i) International Convention on Civil Liability for Oil Pollution Damage 1992 (1992 Civil Liability Convention) melibatkan kapal tangki yang membawa kargo melebihi 2,000 tan; dan

(ii) International Convention on the Establishment of an International Fund for Compensation for Oil Pollution Damage 1992 (1992 Fund Convention) yang telah dikuatkuasakan di Malaysia melalui *Merchant Shipping

(Liability and Compensation for Oil and Bunker Oil Pollution Act 1994) [Act 515]* melibatkan semua jenis kapal yang mempunyai tanan melebihi 1,000 gross tonnage.

3:30 PM

Datuk Haji Hasbi bin Haji Habibollah

Melalui rejim ini, pihak yang menyebabkan pencemaran dikehendaki menanggung kos pampasan, selaras dengan prinsip Polluter Pays Principle.

Pemilik kapal bertanggungjawab secara strict liability terhadap kerosakan akibat pencemaran minyak dan diwajibkan mempunyai insurans atau jaminan kewangan yang mencukupi. Mangsa juga diberi hak untuk mengemukakan tuntutan secara terus kepada penanggung insurans atau pemberi jaminan kewangan pemilik kapal. Sekiranya jumlah tuntutan melebihi had liabiliti pemilik kapal atau pemilik kapal tidak berupaya memenuhi tanggungjawabnya, pampasan tambahan boleh diperoleh melalui International Oil Pollution Compensation Funds ataupun IOPC Funds, tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan di bawah konvensyen berkenaan.

Dalam hal ini, Jabatan Laut Malaysia berperanan sebagai pemudah cara dengan membantu menyelaras komunikasi antara pihak yang menuntut, pemilik kapal, penanggung insurans, IOPC Funds serta agensi-agensi berkaitan bagi memastikan proses tuntutan dapat dilaksanakan dengan lebih lancar dan teratur.

Melalui pendekatan ini, kerajaan memastikan kos pencemaran ditanggung oleh pihak yang menyebabkan pencemaran, selaras dengan prinsip Polluter Pays Principle dan bukannya ditanggung oleh kerajaan atau rakyat.

Kelapan, adakah kerajaan bercadang mewujudkan entiti bagi menyelaras semua insiden pencemaran laut secara berpusat, national marine environmental emergency centre? Kerajaan sememangnya telah mewujudkan mekanisme penyelarasan pengurusan insiden pencemaran marin di peringkat kebangsaan melalui Arahan NADMA No.1, dasar dan mekanisme pengurusan bencana negara serta Malaysia Oil Spill Contingency Plan (MOSCoP).

Mekanisme ini berfungsi sebagai pusat penyelarasan nasional yang menghimpunkan kementerian, agensi penguat kuasa dan pihak industri bagi memastikan tindak balas terhadap insiden pencemaran marin dilaksanakan secara bersepadu, terselaras dan berkesan. Di bawah mekanisme ini, Jabatan Alam Sekitar bertindak sebagai agensi peneraju yang bertanggungjawab menyelaras pengurusan insiden tumpahan minyak di perairan negara. Pada masa yang sama, Jabatan Laut Malaysia memainkan sebagai On-Scene Commander

(OSC) bagi mengetuai operasi di tempat kejadian, termasuk menyelaras tindakan agensi-agensi tindak balas, penggunaan aset serta operasi kawalan dan pembersihan tumpahan minyak di laut.

Bagi menyokong mekanisme tersebut, National Oil Spill Operation Committee (NOSC) di peringkat kebangsaan dan State Oil Spill Operation Committee (SOSC) di peringkat negeri telah diwujudkan bagi memastikan setiap insiden ditangani secara terselaras mengikut tahap insiden, dengan penglibatan semua agensi berkaitan serta pemain industri. Kerajaan akan terus memperkukuh mekanisme sedia ada melalui penambahbaikan Malaysia Oil Spill Contingency Plan, peningkatan kompetensi anggota, latihan dan simulasi bersama, pengukuhan kerjasama antara agensi serta pemodenan aset dan teknologi tindak balas supaya pengurusan insiden pencemaran marin dapat dilaksanakan dengan lebih pantas, cekap dan berkesan. Oleh yang demikian buat masa kini, tiada keperluan untuk mewujudkan entiti tersebut memandangkan MOSCoP diterima pakai di seluruh negara dan Arahan NADMA No.1 jelas menyatakan peranan dan tanggungjawab agensi berkaitan melawan tumpahan minyak.

Kesembilan, apakah penambahbaikan dasar dan pindaan undang-undang termasuk akta yang telah dilaksanakan hasil daripada insiden-insiden tersebut?

Kerajaan sentiasa mengambil pendekatan penambahbaikan berterusan terhadap dasar, perundangan dan mekanisme pengurusan pencemaran marin berdasarkan pengalaman daripada insiden-insiden yang berlaku, perkembangan teknologi serta obligasi Malaysia di bawah konvensyen antarabangsa yang telah diterima pakai.

Pada masa ini, Kementerian Pengangkutan sedang melaksanakan Maritime Law Review and Reform Committee (MLRRC) bagi menyemak keberkesanan perundangan maritim sedia ada serta mengenal pasti keperluan pindaan dan penambahbaikan terhadap perundangan berkaitan keselamatan pelayaran, perlindungan alam sekitar marin dan pencemaran pada kapal. Kajian ini bertujuan memastikan rangka kerja perundangan maritim negara senantiasa kekal relevan, responsif dan selaras dengan perkembangan semasa serta obligasi Malaysia di bawah konvensyen antarabangsa. Hasil kajian MLRRC akan menjadi asas kepada kerajaan dalam mempertimbangkan cadangan pindaan terhadap perundangan berkaitan, termasuk bagi memperkukuh aspek pencegahan pencemaran marin, kesiapsiagaan dan tindak balas terhadap insiden serta mekanisme liabiliti dan pampasan bagi memastikan perlindungan alam sekitar marin negara terus dipertingkatkan.

Selain aspek perundangan, kerajaan turut memperkukuh mekanisme pengurusan pencemaran marin melalui semakan berkala terhadap Malaysia Oil Spill Contingency Plan, pemantapan prosedur operasi, peningkatan koordinasi antara agensi, pelaksanaan latihan dan simulasi secara berterusan serta pengukuhan keupayaan tindak balas negara terhadap insiden pencemaran marin.

Kerajaan akan terus menilai keperluan penambahbaikan dasar, perundangan dan mekanisme pelaksanaan dari semasa ke semasa, bagi memastikan pengurusan pencemaran marin negara sentiasa berkesan, cekap dan selaras dengan perkembangan sektor maritim serta amalan antarabangsa.

Persoalan yang kesepuluh iaitu penggunaan teknologi. Buat masa ini, antara teknologi yang digunakan adalah penggunaan simulasi trajektori tumpahan minyak di mana sistem ini mampu membuat simulasi pergerakan minyak ke depan ataupun forward trajectory bagi membolehkan strategi untuk melawan tumpahan minyak dapat dirancang sebaik mungkin dengan bantuan simulasi ini.

Selain itu, sistem ini juga membolehkan simulasi ke belakang ataupun backward trajectory dilakukan bagi menentukan lokasi punca pencemaran minyak dari kapal di laut berlaku.

Benarkah dakwaan [Tidak jelas] terdapat — soalan tentang 330 hidupan laut negara yang telah terjejas. Hidupan laut yakni marine mammal adalah di antara — adalah di bawah bidang kuasa Jabatan Perikanan yang merujuk kepada Akta Perikanan 1985 dan Fisheries (Control of Endangered Species of Fish) Regulations 1999. Perkara ini turut direkodkan di bawah inisiatif Malaysia Policy on Biological Diversity 2022 hingga 2030. Terkini, Jabatan Perikanan Malaysia telah menggubal satu Pelan Tindakan Kebangsaan Mamalia Marin ataupun NPOA Marine Mammal Second Draft.

Persoalan yang ke-12 iaitu sejauh manakah MOU antara negara dan jiran seperti Singapura dan Indonesia dalam menghadapi pencemaran marin ini.

Kerajaan senantiasa komited memperkukuh kerjasama dengan negara-negara jiran kita dalam usaha melindungi alam sekitar marin serta meningkatkan kesiapsiagaan dan keupayaan tindak balas terhadap insiden pencemaran minyak di kawasan perairan yang dikongsi bersama.

Pada peringkat dua hala, Malaysia dan Singapura melaksanakan kerjasama melalui Malaysia–Singapore Joint Committee on the Environment

(MSJCE) yang menjadi platform rasmi bagi membincangkan isu-isu alam sekitar rentas sempadan. Di bawah mekanisme ini, Expert Group on Straits of Johor

(SOJ) Related Activities menyelaras kerjasama teknikal berkaitan pemantauan alam sekitar marin, pertukaran maklumat, latihan bersama, pembangunan kapasiti serta penyelarasan tindak balas terhadap insiden pencemaran marin termasuk tumpahan minyak di Selat Johor.

Pada peringkat tiga hala pula, Malaysia bersama Singapura dan Indonesia melaksanakan kerjasama melalui standard operating procedure for joint oil spill combat in the Straits of Malacca and Singapore di bawah Revolving Fund Committee (RFC). SOP ini menyediakan mekanisme operasi bersama bagi notifikasi awal, pertukaran maklumat serta penyelarasan operasi sekiranya berlaku insiden pencemaran minyak yang melibatkan lebih daripada sebuah negara.

3:00 PM

Datuk Haji Hasbi bin Haji Habibollah

Ketiga-tiga negara juga bekerjasama melalui Cooperative Mechanism on Safety of Navigation and Environmental Protection in the Straits of Malacca and Singapore yang diwujudkan pada tahun 2007 di bawah naungan International Maritime Organization (IMO). Melalui mekanisme ini, negara-negara pesisir, negara-negara pengguna dan pihak industri bekerjasama melaksanakan pelbagai projek keselamatan pelayaran, perlindungan alam sekitar marin dan penyelenggaraan bantuan pelayaran bagi mengurangkan risiko kemalangan kapal yang boleh menyebabkan pencemaran minyak.

Pada peringkat serantau, Malaysia merupakan peserta aktif dalam ASEAN Regional Oil Spill Contingency Plan (ASEAN ROSCP), yang memperkukuh kerjasama dalam aspek kesiapsiagaan, latihan bersama, bantuan bersama, pembangunan kapasiti dan perkongsian maklumat bagi menghadapi insiden tumpahan minyak berskala besar di rantau ASEAN. Semua mekanisme ini saling melengkapi dan dilaksanakan selaras dengan komitmen Malaysia di bawah International Convention on Oil Pollution Preparedness, Response and Co- operation 1990 ataupun OPRC 1990 yang menggalakkan kerjasama antarabangsa dalam aspek kesiapsiagaan, pertukaran maklumat, bantuan teknikal dan tindak balas terhadap insiden pencemaran minyak.

Melalui jaringan kerjasama dua hala, tiga hala, serantau dan antarabangsa, Malaysia sentiasa bersedia untuk bertindak secara pantas, bersepadu dan berkesan bersama negara-negara jiran dalam menangani insiden pencemaran minyak marin, sekali gus melindungi alam sekitar marin, keselamatan pelayaran dan kepentingan ekonomi negara. Malaysia juga terus bekerjasama rapat dengan IMO dan negara-negara serantau dalam memperkukuhkan maritime governance, marine environmental protection dan sustainable shipping practices. Terima kasih.

3:50 PM

Tuan Haji Ahmad Johnie bin Zawawi - Igan

Wah, jawapan terperinci Yang Berhormat. Yang Berhormat telah menjawab selama 24 minit 49 saat. Sila Yang Berhormat Tumpat untuk pertanyaan yang selanjutnya.

3:50 PM

Dato’ Hajah Mumtaz binti Md Nawi - Tumpat

Terima kasih Speaker.

Saya ada beberapa soalan tambahan. Tadi kita dimaklumkan terdapat lebih kurang 7,000 sebulan. Kalau kali dengan 12 maknanya 84,000 kapal dagang yang telah melalui Selat Melaka di negara kita. Saya ingin tanya, kalau tadi kita dengar dengan lega bahawa hanya terdapat satu insiden berlaku heavy fuel oil yang tumpah tapi tak dapat kita kesan siapa yang buat. Jadi, dalam keadaan 84,000 ini, saya nak tahu berapakah kepakaran dan kekuatan Jabatan Laut Malaysia untuk memantau keseluruhan selat kita kerana kapal ini datang secara sepanjang masa.

Jadi kalau satu insiden tak dapat kita kesan, apakah tindakan yang kita buat kerana kita lihat — saya dimaklumkan ada aduan memaklumkan kebanyakan kapal ini akan melepaskan air ataupun sisa ini sebelum masuk ke Singapore kerana di Singapore, kompaun yang dikenakan ialah SGD2 juta berbanding dengan kita. Tadi disebut OPS 1952, jumlah denda lebih kurang RM50,000 dan dua tahun penjara. Jadi 1952, kalau kita kira ini dah obsolete, more than 70 years. Jadi, adakah kerajaan bercadang untuk meminda OPS ini supaya denda yang dikenakan adalah selaras dengan keadaan semasa dengan negara- negara jiran? Itu pertama.

Yang kedua, berkenaan dengan kekuatan tadi, kekuatan Jabatan Laut Malaysia. Yang seterusnya berkenaan dengan pelaburan kita untuk sistem ataupun teknologi pemantauan sebab kalau kita nak kemukakan simulasi trajektori tadi berbanding dengan keadaan real time yang kita perlu kesan dengan segera, saya rasa kerajaan perlu melaburkan kerana dalam perniagaan ini, syarikat kapal ini dah ambil insurans tapi mereka tak bayar apa-apa kepada kerajaan kita tapi kita yang menghadapi masalah-masalah ini. Jadi, adakah kita perlu membuat satu pelaburan yang besar untuk masalah ini tidak berlaku?

Seterusnya, berkaitan juga dengan selain daripada oil dengan air, berkenaan dengan microplastic. Apakah pendekatan yang kita gunakan untuk memastikan tidak ada tumpahan ataupun pencemaran microplastic dalam laut kita daripada perdagangan kapal ini.

Dan juga yang terakhir, berkenaan dengan kawasan Pantai Timur termasuk Kelantan. Sekiranya mereka menghadapi pencemaran marin rentas sempadan, kita tengok — di sana, banyak orang bergantung kepada perikanan sebagai sumber pendapatan. Jadi, adakah akta-akta ini meliputi dan juga kita punya kepakaran dan kekuatan yang sama untuk memantau di sebelah Pantai Timur untuk menjaga keselamatan laut kita daripada kapal ini? Terima kasih.

3:50 PM

Tuan Haji Ahmad Johnie bin Zawawi - Igan

Sila Yang Berhormat untuk menjawab dalam masa yang ditetapkan.

3:50 PM

Datuk Haji Hasbi bin Haji Habibollah

Terima kasih Yang Berhormat.

Satu ialah tentang jumlah kapal ini yang sebenarnya hampir 100,000 sebab ini, yang kita ini dah 1,000 dan 2,000 ke atas. Banyak lagi yang di bawah itu [Tidak jelas], kalau kira ambil semua, yang sebenarnya hampir 100,000 yang melepasi Selat Melaka.

Jadi, kekuatan daripada JLM itu memang sudah ada. Saya tahu semua, sebelah Sarawak Sabah pun memang semua, every marine, Jabatan Laut ada dah cukup, memang oil spill punya team tapi memang jarang keluarlah, hanya bila adalah tapi alhamdulillah setakat ini.

Jadi, tentang di sebalik —selain daripada Jabatan Laut sendiri punya team, banyak lagi daripada industri. Jabatan Alam Sekitar pun punya team sendiri.

Bila disebut tentang plastik apa semua ini, ini dah ada agensi masing-masing.

Yang minyak itu pun dengan bantuan industri-industri, industri minyak itu sendiri pun banyak. Bukan hanya yang melaksanakan tugas ini daripada Jabatan Laut.

Memang, industri juga ada punya team, team mereka sendiri yang sama-sama bertanggungjawab.

Jadi tentang pindaan undang-undang. Sebab itu tadi saya sebut, kita masa ini kira menyeluruhlah iaitu di bawah MLRRC itu tadi untuk quite — dia agak menyeluruh juga dalam pindaan undang-undang kita ini termasuklah melihat perkara-perkara seperti mengenakan hukuman yang lebih berat dan sebagainya tapi keputusan ini belum keluar lagi, MLRRC. Ia diketuai oleh kalau tak silap saya, salah seorang judge kita untuk mengetahui pasukan, untuk me-review undang- undang kita ini.

Jadi, berkenaan di sebelah Pantai Barat — eh, Pantai Timur. Saya yakin kita juga di sana mempunyai team, team-nya sendiri di bawah Jabatan Laut tentang pencemaran minyak sebab kita di sini dah memang pernah melawatlah semua. Memang ada satu tiap-tiap stesen Jabatan Laut itu memang ada satu macam gudang. Di situlah perkakas-perkakas sekiranya berlakunya tumpahan yang akan di-deploy secara tuntaslah bersama dengan bantuan agensi-agensi lain dan juga syarikat-syarikat minyak. Sebab this is our — ya lah, kita punya — pantai kita. Bukan hanya kerajaan tapi pihak industri kita juga membantu sebab kalau hanya berharap dengan Jabatan Laut sahaja, memang tak cukup. Terima kasih.

3:50 PM

Dato’ Hajah Mumtaz binti Md Nawi - Tumpat

[Tidak jelas]

3:50 PM

Datuk Haji Hasbi bin Haji Habibollah

Mana dia?

3:50 PM

Dato’ Hajah Mumtaz binti Md Nawi - Tumpat

[Tidak jelas] tentang teknologi.

3:50 PM

Datuk Haji Hasbi bin Haji Habibollah

Okey. Tentang teknologi ini, yang sebenarnya memang kerajaan memang melihat sekarang ini kalau di sebelah Pantai Timur, di Selat Melaka lah ya, kita memang sudah berbelanja kalau di Jabatan Laut itu tentang pengesanan kapal-kapal dan sebagainya. Pengawasan itu memang sudah ada. It’s a digital dipanggil visual— saya tak ingatlah tapi dia — adalah V something lah ya untuk mengesan semua perkapalan yang melalui terutamanya Selat Melaka inilah ya. Memang kerajaan berbelanja, yang sebenarnya kita boleh mengesan dari pantai. All the cameras melihat semua pergerakan kapal tapi terus terang, yang bawah sungai itu tak nampaklah. Kita fahamlah itu, memang ada yang bawah itu. Mungkin submarine dan sebagainya tetapi as far as all this shipping yang di atas ini, yang melalui Selat Melaka ini memang ia nya sentiasa dipantau, boleh dikesan.

Ini juga pelaburan yang telah pun dibuat oleh kerajaan yang sebenarnya dalam memantau kapal-kapal yang lalu ini dan saya yakin akan kita juga berkaitan dengan untuk mungkin satellite imaging dan sebagainya setelah apa yang berlaku kapal itu. Mungkin ya lah, itu kena satellite punya image-lah untuk melihat. [Tidak jelas] menggunakan trajektori itu masa minyak itu dikeluarkan tapi kapal itu dah jauhlah, kita tak tahu di mana lagi dah. Jadi, dah keluar dari laut Malaysia, fasal itu tak dapat dikesan lagi. Tapi insya-Allah dengan apa yang dibuat oleh kerajaan pada masa ini, saya yakin sudah pastinya kerajaan melaburlah — akan melabur untuk memastikan pengesanan tentang tumpahan minyak, mereka yang melanggar undang-undang dan sebagainya itu dapat lebih dikesan dengan lebih baik lagi.

Namun setakat ini, Malaysia adalah salah seorang ahli counsel dalam IMO dan dengan apa yang ada pada masa ini, Malaysia telah pun dapat maintain the standard of kesiapsiagaan ini. Dari segi teknologi yang sedia ada, yang digunakan, kepakaran dan kerjasama. Sebab itulah kita, alhamdulillah masih diterima dalam counsel IMO kerana itu bukti kita boleh. Antara negara yang diberi tanggungjawab yang berat, yang besar oleh IMO untuk menjaga Selat Melaka ini dengan apa yang ada, alhamdulillah. Terima kasih.

3:50 PM

Tuan Haji Ahmad Johnie bin Zawawi - Igan

Terima kasih Yang Berhormat. Ahli-ahli Yang Berhormat, dengan itu tamatlah sesi Kamar Khas pada hari ini. Kamar Khas hari ini ditangguhkan sehingga Isnin, 13 Julai 2026, jam 2:30 petang.

[Kamar Khas ditangguhkan pada pukul 4.00 petang]

3:50 PM

Hak Cipta Terpelihara © 2026