Katalog Hansard
[Tuan Haji Aminolhuda bin Hassan (Sri Gading) **mempengerusikan Mesyuarat****]
Dato’ Hajah Mumtaz binti Md Nawi - Tumpat
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Tuan Yang di-Pertua, usul satu, saya ingin bertanya kepada Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air mengenai hala tuju dan kesungguhan kerajaan dalam menjadikan tenaga boleh diperbaharui sebagai satu budaya nasional, khususnya melalui institusi awam yang dekat dengan rakyat seperti masjid dan sekolah.
Pertama, apakah strategi kerajaan untuk memastikan penggunaan tenaga boleh diperbaharui, khususnya tenaga solar tidak terhenti menjadi projek perintis atau bersifat ad hoc, tetapi digerakkan secara konsisten sehingga menjadi amalan biasa dalam pengurusan pembangunan awam bermula dengan masjid dan sekolah-sekolah kerajaan?
Kedua, memandangkan masjid dan sekolah merupakan institusi yang beroperasi hampir setiap hari, menanggung bil elektrik yang berterusan serta berfungsi sebagai pusat komuniti dan pendidikan, adakah kerajaan melihat institusi ini sebagai teras pembudayaan tenaga hijau, bukan sekadar dari sudut penjimatan kos, tetapi sebagai medium mendidik masyarakat dan generasi muda tentang kepentingan tenaga boleh diperbaharui dalam kehidupan seharian?
Ketiga, sejauh manakah agenda peralihan tenaga negara mengambil kira keadilan wilayah, khususnya bagi kawasan luar bandar, pesisir dan sempadan seperti Parlimen Tumpat yang mempunyai potensi tenaga solar tetapi sering ketinggalan dalam akses kepada inisiatif tenaga boleh diperbaharui akibat kekangan kos dan pelaksanaan?
Keempat, adakah kerajaan bercadang untuk memperkenalkan piawaian, garis panduan atau keperluan dasar supaya setiap pembinaan baharu atau kerja naik taraf masjid jajahan dan sekolah mengintegrasikan elemen tenaga boleh diperbaharui, khususnya sistem solar, sebagai sebahagian daripada reka bentuk dan operasi bangunan awam supaya amalan ini menjadi norma dan bukannya pilihan?
Kelima, dalam konteks ketahanan tenaga dan pengurusan bencana, adakah kerajaan mempunyai perancangan khusus untuk memastikan masjid dan sekolah yang berfungsi sebagai pusat pemindahan sementara dilengkapi dengan sistem tenaga boleh diperbaharui berserta storan tenaga, agar bekalan elektrik dapat dikekalkan ketika gangguan grid berlaku?
Akhir sekali, apakah sasaran jangka sederhana dan jangka panjang kerajaan dalam menjadikan penggunaan tenaga boleh diperbaharui di masjid jajahan dan sekolah sebagai satu budaya nasional yang berterusan serta apakah mekanisme yang diwujudkan bagi memastikan kesinambungan dasar ini merentas penggal pentadbiran dan tidak terhenti menjadi inisiatif sementara?
Sekian, terima kasih.
Tuan Haji Aminolhuda bin Hassan - Sri Gading
Minta Yang Berhormat Menteri untuk menjawab.
Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air - Dato’ Sri Haji Abdul Rahman bin Haji Mohamad
Terima kasih Yang Berhormat Yang di-Pertua. Terima kasih Yang Berhormat Tumpat.
Untuk makluman Yang Berhormat, sehingga Disember 2025, Malaysia telah mencapai sasaran 31 peratus kapasiti terpasang bagi tenaga boleh baharu
(TBB) dan bagi sasaran jangka masa pendek, kerajaan telah menetapkan sasaran untuk meningkatkan kapasiti TBB kepada 35 peratus pada tahun 2030 seperti yang ditetapkan di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas. Kerajaan melalui Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara telah menetapkan sasaran 70 peratus kapasiti penjanaan elektrik kepada TBB menjelang tahun 2050.
Perkara yang dibangkitkan perkara pertama yang menjadikan TBB sebagai satu budaya nasional bagi membudayakan penggunaan tenaga secara lestari, kerajaan telah melaksanakan pendekatan menyeluruh dalam peralihan tenaga negara yang merangkumi pembangunan infrastruktur serta intervensi pendidikan dan perubahan tingkah laku. Pendekatan ini diterjemahkan melalui Malaysia Energy Literacy Program ataupun MELP sebagai mekanisme nasional bagi meningkatkan tahap literasi tenaga, memupuk perubahan sikap dan menyokong penggunaan tenaga secara cekap serta lestari dalam kalangan rakyat. Pelaksanaan MELP merangkumi intervensi di peringkat sekolah, institusi pengajian tinggi serta masyarakat umum dengan penglibatan pelbagai pihak berkepentingan termasuk agensi kerajaan, institusi pendidikan dan rakan industri.
Bagi perkara dua, penggunaan TBB dijadikan amalan dalam pengurusan bangunan awam. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, sehingga Disember 2025, sebanyak 3.38 Megawatts telah dipasang — MWac telah dipasang di 123 buah masjid di seluruh Semenanjung di bawah program Net Energy Metering
(NEM).
Berdasarkan pecahan mengikut negeri pula, masjid-masjid di Perak mempunyai kapasiti tertinggi dengan kapasiti sebanyak satu MWac yang dipasang di 45 buah masjid, manakala negeri Kelantan adalah merupakan antara pemohon terendah dengan kapasiti sebanyak 0.1 MWac yang dipasang di tiga buah masjid. Oleh itu, PETRA ingin menyeru agar semua masjid-masjid untuk memohon pemasangan solar bumbung di bawah program Solar ATAP yang baru sahaja dilancarkan oleh kerajaan bermula 1 Januari 2026 yang lalu.
Bagi perkara tiga yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat, institusi seperti masjid dan sekolah sebagai teras pembudayaan tenaga hijau. Di bawah program MELP yang diterajui oleh PETRA dengan kerjasama sembilan rakan strategik, sebanyak lebih 50 program literasi tenaga telah dilaksanakan sepanjang tahun 2025. Antara tumpuan utama yang diberikan adalah pelaksanaan program- program di sekolah dan institusi-institusi awam yang lain bagi meningkatkan kesedaran awam ke atas isu-isu tenaga seperti TBB dan penggunaan tenaga secara cekap.
Dalam hal ini, beberapa sekolah dan masjid telah dijadikan sebagai pusat penyebaran maklumat berkaitan TBB dan kecekapan tenaga seperti Program Rumah Ibadat Hijau yang dilaksanakan. Selain itu, melalui program Sekolah Angkat MADANI, PETRA dan agensi-agensi di bawahnya telah mengetengahkan pembelajaran mengenai kepentingan TBB dan kecekapan tenaga serta perlunya peralihan tenaga dipercepatkan.
Perkara empat iaitu berkenaan dengan agenda peralihan tenaga negara di luar bandar. Untuk makluman Yang Berhormat, projek-projek bagi bekalan elektrik di luar bandar adalah terletak di bawah bidang kuasa Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah di bawah Program Bekalan Elektrik Luar Bandar ataupun BELB.
Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air - Dato’ Sri Haji Abdul Rahman bin Haji Mohamad
Namun begitu secara amnya, pembangunan projek tenaga hijau di Malaysia dilaksanakan oleh pihak industri ataupun pemaju tenaga yang berkelayakan berdasarkan nilai komersial, kesesuaian teknikal serta keupayaan grid sedia ada di bawah, di bawah — di kawasan tersebut. Kerajaan tidak menetapkan lokasi khusus bagi tujuan pembangunan projek penjanaan tenaga, sebaliknya berperanan menyediakan dasar peraturan serta kemudahan pelaburan yang kondusif.
Dan bagi Perkara 5 yang dibangkitkan, penetapan piawaian garis panduan atau keperluan dasar supaya setiap pembinaan baru diintegrasikan dengan TBB.
Untuk makluman Yang Berhormat, penetapan piawaian dan garis panduan agar setiap pembinaan baharu diintegrasikan dengan elemen TBB seperti panel solar adalah terletak luar bidang kuasa kementerian ini bagi binaan atau menaik taraf masjid. Ketetapan agar panel solar dibina bersekali adalah tertakluk kepada bidang kuasa kerajaan negeri. Manakala bagi sekolah pula, keputusan untuk memasukkan elemen solar panel adalah di bawah bidang kuasa Kementerian Pendidikan Malaysia. Dalam hal ini, PETRA mengalu-alukan, menggalakkan mana-mana institusi untuk mengoptimumkan penggunaan bumbung untuk menjana elektrik, sekali gus menyumbang ke arah kelestarian tenaga negara.
Perkara 6, pusat pindah sementara dilengkapi dengan sistem TBB dan penyimpanan tenaga. PETRA amat menggalakkan pemasangan sistem TBB dan penyimpanan tenaga di pusat-pusat pemindahan sementara seperti sekolah atau mana-mana institusi awam. Dalam hal ini, pemasangan solar dan sistem penyimpanan tenaga di institusi-institusi ini adalah tertakluk kepada keputusan kementerian-kementerian yang berkaitan yang bertanggungjawab ke atas infrastruktur dan kemudahan yang telah disediakan oleh PETRA dan agensi- agensi di bawahnya bersedia untuk membantu mana pihak berhasrat untuk memasang panel solar dan sistem penyimpanan tenaga tersebut.
Bagi Perkara 7, sasaran jangka sederhana dan sepanjang bagi menjadikan penggunaan TBB di masjid dan sekolah sebagai budaya nasional.
Kerajaan tidak menetapkan sebarang sasaran khusus bagi penggunaan TBB di masjid mahupun di sekolah. Ini kerana penggunaan TBB ini adalah terbuka untuk semua pihak di negara ini sama ada sektor awam, mahupun swasta. Sebaliknya pelbagai program disediakan untuk dipilih pengguna bagi menggunakan sumber TBB di premis masing-masing.
Selain itu, bagi membolehkan bangunan seperti masjid dapat menggunakan TBB dengan lebih meluas, institusi-institusi seperti Majlis Agama Islam di negeri, Jabatan Agama Islam Malaysia dan Jabatan Wakaf, Zakat, Haji boleh memainkan peranan yang lebih besar bagi menggalakkan pemasangan panel solar di masjid-masjid.
Kerjasama KPM bagi membenarkan sekolah memasang panel solar juga amatlah ditunggu-tunggukan oleh PETRA. Terima kasih Yang Berhormat Yang di- Pertua.
Tuan Haji Aminolhuda bin Hassan - Sri Gading
Saya persilakan Yang Berhormat Tumpat untuk mengajukan pertanyaan.
Dato’ Hajah Mumtaz binti Md Nawi - Tumpat
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Saya ucap tahniah kepada pihak kerajaan kerana berjaya mencapai 31 percent yang telah pun dicapai sebelum ini jadi sasaran kepada lima percent. Soalan saya ialah kalaulah tadi disebut Perak paling banyak dengan 45 buah masjid yang mendapat atau mempunyai kemudahan solar, saya kira seluruh negara mungkin dalam 500 per 10,000 rumah masjid. Jadi, lebih kurang mungkin dalam 0.05 sahaja yang terlibat. Jadi, dari segi program literasi dan advokasi yang disebutkan tadi, berapa banyakkah program literasi dan advokasi ini melibatkan masjid secara direct? Kerana kita tahu bahawa antara kos terbesar yang ditanggung oleh komuniti kita ialah bil-bil yang tinggi di masjid kerana hampir semua masjid menggunakan aircond. Jadi, saya tak tahu berapa banyakkah literasi dan advokasi yang telah dibuat membabitkan masjid-masjid sebagai galakan yang lebih direct berbanding dengan individu? Itu yang pertama.
Soalan kedua saya ialah memandangkan kos untuk memasang solar ini sangat tinggi dan kalau kita mahu menjimatkan elektrik ataupun menggunakan tenaga boleh baharu ini, kita kena galakan kalangan B40. Jadi, bila B40 ini dia punya kos dia tak mampu. Jadi, kita perlu satu sistem ataupun satu skim inovasi untuk pemasangan yang lebih murah di mana bukan saja inovasi tempatan yang diperlukan untuk menjadikan kos penyediaan itu lebih murah, tetapi juga kita perlukan pembiayaan. Jadi, adakah kerajaan menyediakan pembiayaan kepada B40 sekiranya mereka ini berminat untuk mendapatkan sistem solar sama ada melalui ATAP dan sebagainya untuk mereka dapat menggunakan tenaga ini?
Terima kasih.
Tuan Haji Aminolhuda bin Hassan - Sri Gading
Minta Yang Berhormat Menteri untuk menjawab.
Dato’ Sri Haji Abdul Rahman bin Haji Mohamad
Terima kasih Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua. Terima kasih Yang Berhormat Tumpat.
Bagi persoalan yang B40, selakat ini kita masih belum menyediakan perancangan untuk menyediakan solar. Dan kebiasaannya solar ini digunakan apabila bil itu lebih baik melebihi RM300. Tak mungkin B40 ini melebihi RM300.
Dan kalau di peringkat masjid, kebiasaannya antara RM1,000 ke RM1,500 kerana sekarang ini bermula dari subuh saja orang telah menggunakan aircond. Dan kalau mengambil kira kos ini, kos yang sebenarnya adalah lebih kurang kalau 1,200 punya bil, pemasangan solar bermula daripada antara RM60,000 ke RM70,000 untuk memasang panel di masjid tersebut. Dan penjimatannya mencecah sehingga 80 peratus. Kalau RM1,000 ertinya, kita hanya perlu membayar RM200 saja sebulan. Dan kalau di masjid ini, sememangnya sepatutnya dipasang alat solar.
Umpamanya kalau di masjid kampung saya, sebelahan rumah saya. Yang Berhormat Arau pernah sampai ke masjid saya waktu banjir, dia lebih kurang RM1,500 sebulan. Maknanya, amat bersesuaian kalau dipasang solar. Tetapi kita sakit hari ini tidak ada lagi subsidi. Tidak ada subsidi dan kita akan mengikut rate yang sebenar. Pegawai-pegawai saya ada di belakang ini. Kalau ada kesilapan, mungkin dia boleh perbetulkan apa yang saya katakan.
Dan soalan-soalan yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat sebentar tadi.
Sebenarnya, telah saya jelaskan dalam tujuh perkara Yang Berhormat telah bangkitkan dan insya-Allah saya percaya kami sangat berminat untuk berjumpa dengan komuniti, Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua. Maksudnya sama ada golongan wanita, sama ada golongan imam-imam masjid, sama ada golongan ketua-ketua kampung.
Kita nak perjelaskan sebenarnya supaya untuk mencapai target kita sampai kepada sasaran 2030 sehingga 2050 ini boleh kita maklumkan kepada masyarakat supaya umpamanya Program ATAP ini boleh melibatkan ramai yang tahu. Sebab itu saya katakan kita libatkan pengerusi-pengerusi masjid umpamanya dan Program Mark ini sebenarnya boleh melibatkan lebih kepada institusi-institusi awam sebenarnya.
Dan cadangan YB Tumpat akan diambil kira untuk melibatkan masjid ya YB ya dan sudah pasti jangka masa apabila banyak perkara-perkara yang dibangkitkan, kita akan menyediakan satu kajian untuk kita lakukan. Dan sekarang ini kalau umpama di Pahang Yang Berhormat Tumpat, kita dah buat rumah PR1MA. Rumah PR1MA yang kosnya lebih kurang RM150,000 dan kita minta tambah dipasang solar RM10,000 dimasukkan dalam pinjaman bank. Maka, ia menjadi RM160,000 kalau ia berminat untuk menambah solar dan dijadikan pinjaman. Dan akhirnya, bil itu menjadi lebih rendah daripada kebiasaan yang saya katakan penjimatan lebih kurang 80 peratus.
Jadi Yang Berhormat, boleh kita adakan program untuk penjelasan supaya mereka dapat lebih jelas dan team saya bila-bila masa ready to go untuk melakukan perkara tersebut. Terima kasih Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua yang handsome ini.
Dato’ Hajah Mumtaz binti Md Nawi - Tumpat
Tuan Yang di-Pertua, memandangkan Program Pembangunan Industri Susu Negara 2021–2025
(Dairy) digubal di bawah Dasar Agromakanan Negara 2.0 dengan objektif meningkatkan tahap sara diri (SSL) susu negara, memperkukuh rantaian bekalan susu tempatan serta jamin akses kepada susu berkhasiat pada harga mampu milik.
Namun sehingga kini, Malaysia masih bergantung tinggi kepada import susu dan produk tenusu. Sementara harga susu terus meningkat dan memberi tekanan kepada isi rumah B40 dan M40. Memandangkan kadar bantut kanak- kanak Malaysia berada pada sekitar 21–22 peratus, satu tahap yang dikelaskan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai isu kesihatan awam yang serius. khususnya bagi sebuah negara berpendapatan sederhana tinggi serta intervensi makanan sedia ada seperti Rancangan Makanan Tambahan (RMT) hanya meliputi sekolah rendah, sekali gus mewujudkan jurang perlindungan nutrisi bagi kanak-kanak berumur dua hingga tujuh tahun di tempoh kritikal bagi pertumbuhan fizikal dan perkembangan kognitif.
Dato’ Hajah Mumtaz binti Md Nawi - Tumpat
Apakah penyelesaian menyeluruh kementerian terhadap keberkesanan pelaksanaan program ini dan seterusnya satu, apakah pencapaian sebenar tahap SSL susu negara dari tahun 2021 hingga 2024 berbanding sasaran yang ditetapkan? Dan memandangkan Program Dairy 2021–2025 telah tamat, apakah bentuk penerusan atau penstrukturan semula dasar tenusu negara, khususnya bagi meningkatkan pengeluaran susu segar tempatan, mengurangkan kebergantungan import, serta menangani kekangan seperti kos makanan ternakan, skala penternak kecil dan kecekapan rantaian bekalan?
Memandangkan peningkatan kos input penternakan global dan kebergantungan kepada import bahan mentah telah memberi kesan langsung kepada harga susu pasaran, apakah mekanisme kawalan atau penstabilan harga susu yang telah dilaksanakan di bawah kerangka Program Dairy 2021–2025?
Apakah dapatan utama hasil pelaksanaannya? Dan apakah tindakan susulan baharu yang dirancang bagi memastikan susu asli tanpa gula tambahan kekal mampu milik kepada kanak-kanak serta isi rumah B40 dan M40?
Ketiga, apakah dasar atau inisiatif di bawah Program Tenusu Negara secara khusus mengambil kira keperluan nutrisi kanak-kanak umur dua hingga tujuh tahun, yang kini tidak diliputi oleh RMT sedangkan kajian WHO dan UNICEF menunjukkan tempoh ini masih kritikal untuk catch-up growth, dan jika apa — dan jika ya, apakah bentuk intervensi berasaskan susu atau pemakanan awal yang dirancang untuk menutup jurang nutrisi ini?
Yang keempat, memandangkan pendedahan awal kepada produk susu berperisa tinggi gula menyumbang kepada tabiat pengambilan gula berlebihan serta peningkatan risiko obesiti dan penyakit tidak berjangkit pada usia muda, apakah kerajaan mempunyai dasar, piawaian atau garis panduan jelas bagi menggalakkan pengambilan susu asli tanpa gula tambahan dalam kalangan kanak-kanak, termasuk dalam program bantuan kerajaan, prasekolah, tadika dan kempen pendidikan pemakanan awal?
Yang kelima, bagaimanakah penyelarasan antara Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Kementerian Kesihatan Malaysia dan Kementerian Pendidikan Malaysia dilaksanakan bagi memastikan dasar tenusu negara, dasar pemakanan kanak-kanak dan program pendidikan awal selari dengan agenda pencegahan bantut, pengurangan pengambilan gula dan pencegahan penyakit tidak berjangkit dalam jangka masa panjang? Sekian, terima kasih.
Tuan Haji Aminolhuda bin Hassan - Sri Gading
Minta Yang Berhormat Menteri untuk menjawab.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan - Datuk Seri Haji Mohamad bin Sabu
Tuan Yang di-Pertua, oleh kerana soalan di mahkamah Kamar Khas tak ada had perkataan, maka bolehlah soal secara yang panjang.
Boleh buat satu syarahan.
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan menyambut baik atas keprihatinan Yang Berhormat. Tak ada isu keterjaminan makanan berkaitan susu segar negara bagi menjamin keperluan nutrisi rakyat.
KPKM sedar bahawa walaupun program pembangunan industri tenusu negara di bawah dasar Agromakanan Negara 2.0 telah menggariskan hala tuju yang jelas, namun kita masih berdepan cabaran yang besar bagi mencapai sasaran kadar sara diri dan seterusnya mengurangkan kebergantungan import.
Saya yakin di antara yang kita boleh capai secara diri selain daripada akuakultur, ikan dan sebagainya, di antaranya susu tidak lama lagi, insya-Allah. Kerajaan telah memperkenalkan Pelan Strategik Pembangunan Industri Tenusu Negara tahun 2021 hingga 2025 untuk menambah kapasiti pengeluaran susu segar tempatan dalam negara dengan sasaran pengeluaran 20 juta liter melalui peningkatan populasi 10,000 ekor induk dalam tempoh lima tahun. Bagi mencapai sasaran ini, kerajaan telah membangunkan industri lembu tenusu melalui Program Pembangunan Industri Tenusu yang dilaksanakan sepanjang rancangan RMK12 dari tahun 2021 hingga 2025 dengan peruntukan sebanyak RM42 juta yang melibatkan kaedah reimbursement.
Skop program yang melibatkan penternak adalah program transformasi usahawan berskala besar dan transformasi penternak kecil. Selain itu, program pengukuhan ladang. Nukleus baka Mafriwal di Pusat Ternakan Haiwan Air Hitam, Kluang, Johor yang bernilai RM800,000 turut dilaksanakan.
Pengeluaran susu segar negara menunjukkan peningkatan yang positif.
Dari tahun 2021 hingga 2025, dengan peningkatan dari 38.7 juta liter kepada 49.9 juta liter. Peningkatan susu ini memang agak segar, agak menaik sekarang ini.
Sejajar dengan peningkatan pengeluaran susu tempatan, peratusan kadar sara diri pengeluaran susu segar turut menunjukkan peningkatan dari tahun 2020 56.7 peratus, pada tahun 2021 57.3 peratus. Tahun 2022 66.6 peratus. 2023 ada sedikit penurunan 0.1 peratus kepada 66.7 peratus. 2024 dia meningkat kembali.
Yang tak meningkat ni padi beras. Sat lagi. Kita bincang sat lagi.
Program Pembangunan Industri Tenusu Negara ini telah mencapai sasaran pengeluaran sebanyak 20 juta liter dalam tempoh lima tahun dan ia nya sekali gus menunjukkan impak serta keberkesanan program yang telah dilaksanakan. Selain itu, Jemaah Menteri pada 2017 telah bersetuju menubuhkan Lembaga Tenusu Negara yang menetapkan sasaran supaya setiap rakyat Malaysia secara purata kena minum 50 liter susu segar setahun menjelang 2050.
Tuan Speaker nampak minum susu segar.
Untuk maklumat Ahli Yang Berhormat, meskipun pelbagai usaha telah digerakkan di bawah Program Pembangunan Industri Tenusu Negara, pencapaian SSR 100 peratus masih menghadapi cabaran untuk dicapai dalam tempoh terdekat. Justeru, kerajaan kini sedang menilai semula strategi pengeluaran bagi memastikan unjuran tersebut kekal realistik dan mampan bagi tahun 2025.
Bagi meneruskan kesinambungan program ini, projek pengukuhan pengeluaran tenusu negara sedang dilaksanakan di bawah RMK13. Sebanyak RM30 juta di mana ia nya menumpukan program intervensi yang berkesinambungan daripada program peningkatan pengeluaran tenusu negara RMK12. Pelaksanaan program ini adalah meneruskan hasrat kerajaan dalam meningkatkan pengeluaran susu segar bagi mencapai 100 peratus susu segar dalam negara dengan strategi penambahbaikan populasi induk ternakan melalui pelaksanaan skim insentif bantuan kepada golongan sasar dengan kaedah imbuh balik, reimbursement melalui Agrobank.
Skop program yang melibatkan penternak adalah transformasi usahawan berskala besar dan transformasi penternak kecil yang melibatkan perolehan ternakan tenusu serta peralatan seperti tangki penyejukan susu, lori tangki susu dan mesin perincian rumput. Dengan pelaksanaan program ini dalam RMK13, kadar sara diri 100 peratus pengeluaran susu segar dijangka akan dicapai pada 2028, insya-Allah ini kita boleh capai. Melalui penyertaan ladang berskala besar, seperti Farm Fresh Sendirian Berhad, Jemaluang Dairy Valley serta lain-lain syarikat yang berpotensi.
Bagi mengekang kesan peningkatan kos makanan ternakan terhadap harga bekalan susu segar, KPKM telah melaksanakan beberapa langkah intervensi bagi memastikan kenaikan kos tersebut tidak dipindahkan secara langsung kepada pengguna. Antara inisiatif yang telah dan sedang dilaksanakan, membangunkan seluas 136,527 hektar kawasan penanaman bagi menghasilkan sebanyak 1.25 juta tan metrik bahan makanan ternakan setahun. Contoh masyarakat Farm Fresh yang menanam jagung bijian untuk makan ternakannya di Muadzam Shah, Pahang.
Membangunkan variety jagung bijian tempatan yang berpotensi menghasilkan hasil yang lebih tinggi serta mengurangkan kebergantungan terhadap mengimport benih jagung bijian dari luar negara.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan - Datuk Seri Haji Mohamad bin Sabu
Menjalankan kajian bagi meningkatkan penggunaan bahan tempatan seperti sumber tenaga dan protein alternatif dalam penghasilan makanan ternakkan termasuk hasil sampingan industri sawit, hampas isirung sawit, hasil sampingan agroindustri yang lain. Hampas soya, sisa nanas dan mil daun moringa dan daun-daun yang digunakan untuk makanan binatang.
Seterusnya, secara umumnya KPKM dan DBS tidak menetapkan harga jualan susu ex-farm sama ada susu yang dipasarkan oleh syarikat pemprosesan atau di pasaran luar secara langsung. Namun begitu, DBS melalui pusat pengembangan veterinar menyediakan infrastruktur rantai sejuk termasuk perkhidmatan logistik untuk penghantaran susu ke syarikat pemprosesan susu, di samping pemantauan kualiti susu.
Pusat ini juga memperkukuh industri melalui pemberian bantuan input ternakan dan khidmat veterinar secara berterusan bagi peningkatan produktiviti nasional. Pada masa ini, tujuh pusat big tech di seluruh Malaysia iaitu di zon tengah, Perak dan Selangor; di timur laut iaitu di Kelantan; di timur di Terengganu ada; selatan di Johor; dan tenggara di Pahang; utara di Perlis, Kedah dan Pulau Pinang; dan barat daya, Melaka dan juga Negeri Sembilan.
Sebagai rujukan, julat harga jualan susu ex-farm adalah antara RM3.20 hingga RM3.80 seliter. Bagi susu yang dipasarkan ke syarikat pemprosesan, susu bergantung kepada kualiti dan kuantiti susu. Manakala, harga susu bagi pasaran luar boleh mencapai antara RM4.50 hingga RM5 seliter.
Keperluan nutrisi anak-anak umur dua hingga tujuh tahun. Memanglah, Ahli Parlimen Tumpat seorang ibu yang bertanggungjawab hal kesihatan kanak- kanak. Inisiatif yang dilaksanakan di bawah Program Pembangunan Industri Tenusu Negara melibatkan peternak tenusu tempatan sebagai pemain industri dan tidak mengambil kira secara langsung keperluan isu kanak-kanak berumur dua hingga tujuh tahun.
Dari aspek intervensi pemakanan yang melibatkan produk susu tenusu, inisiatif nasional yang dilaksanakan ketika ini adalah Program Susu Sekolah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia yang disalurkan melalui Rancangan Makanan Tambahan (RMT). Program ini menyasarkan murid sekolah Tahun 1 hingga Tahun 6 yang layak. Walaupun bagaimanapun, program tersebut tidak meliputi kanak-kanak persekolahan dua hingga enam tahun yang belum memasuki Tahun 1. Detail-nya di pihak Kementerian Kesihatan.
Walaupun bagaimanapun, kerajaan melalui Kementerian Kesihatan Malaysia melaksanakan program pemantauan pertumbuhan dan intervensi makanan bersasar bagi kanak-kanak yang dikenali sebagai mengalami masalah kurang zat makanan termasuk pemberian makanan tambahan dan khidmat kaunseling pemakanan. Kerajaan mengambil maklum bahawa tempoh umur dua hingga enam tahun merupakan fasa penting dalam pertumbuhan fizikal dan perkembangan konkrit kanak-kanak. Macam Ahli Parlimen Arau, walaupun dia duduk di kampung tapi dia makan benda yang berzat sebab itu dia tinggi lampai orangnya.
Dasar piawaian atau garis panduan jelas bagi menggalakkan pengambilan susu asli tanpa gula, tanpa gula tambahan dalam kalangan kanak-kanak. Dasar piawaian atau garis panduan bagi menggalakkan pengambilan susu asli tanpa gula tambahan dalam kalangan kanak-kanak termasuk dalam program bantuan kerajaan persekolahan, tadika dan kempen pendidikan pemakanan awal adalah di bawah seliaan Kementerian Kesihatan Malaysia. Peranan PKPM adalah bagi memastikan kecukupan susu segar SSR mencapai 100 peratus menyelang 2030.
Ini Yang Berhormat Arau, Yang Berhormat Padang Terap, insya-Allah kita boleh capai. So, dengar perkembangan yang ada sekarang. Bagi menangani kadar penggunaan susu segar yang masih rendah di Malaysia, kempen dan promosi susu segar tempatan akan dilaksanakan mulai 2026. Kita tak boleh kempen minum susu segar dalam keadaan susu segar belum mencukupi. Tapi bila dah sampai hampir mencukupi, kita mula boleh berkempen.
Selain itu, KKM juga melaksanakan kempen nutrisi. Sebuah kempen kesedaran untuk mendidik rakyat tentang manfaat kesihatan susu segar, termasuk perbandingan nutrisi antara susu segar dengan krimer susu sejat atau susu pekat. Kerjasama antara KPKM, KKM dan Kementerian Pendidikan Malaysia adalah melalui pelaksanaan Program Susu Sekolah (PSS) di mana Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Program Susu Sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia bertanggungjawab untuk membincangkan pengoperasian PSS kepada semua pihak yang terlibat. Syarikat yang membekalkan susu segar untuk program ini adalah F&N Sdn. Bhd..
Sebagai kesimpulan, kementerian menegaskan bahawa usaha mencapai kadar secara diri 100 peratus menjelang 2030 bukan sekadar sasaran angka, malah ia merupakan komitmen jika kerajaan — komitmen jitu kerajaan untuk memperkukuh keterjaminan makanan negara. Melalui kesinambungan program dalam RMK13 serta penglibatan strategik pemain industri berskala besar, KPKM optimis bahawa rantaian bekalan susu segar tempatan akan menjadi lebih mampan dan berdaya saing. Soalan pun panjang, jawab pun panjanglah sikit.
Tuan Haji Aminolhuda bin Hassan - Sri Gading
Ya, terima kasih. Sila, saya persilakan Yang Berhormat Tumpat untuk mengajukan pertanyaan.
Dato’ Hajah Mumtaz binti Md Nawi - Tumpat
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Terima kasih Yang Berhormat Menteri.
Soalan tambahan saya ialah adakah kerajaan memasukkan susu sebagai makanan di bawah keterjaminan makanan sebagai makanan utama negara. Itu yang pertama.
Yang kedua, kita dapati di negara Qatar, sebagai contohnya Baladna.
Mereka berjaya menyelesaikan isu susu dalam tempoh yang sangat dekat kerana mereka menggunakan pendekatan crisis driven policy iaitu semua memberikan penumpuan kepada penyelesaian susu dengan termasuklah mengimport susu- susu daripada negara Belanda kepada negara mereka supaya dapat selesaikan isu susu.
Jadi, saya difahamkan bahawa terdapat perjanjian dan juga pertemuan beberapa kali Kerajaan Malaysia dengan Baladna. Tapi sehingga hari ini, projek untuk Baladna ini sama ada di [Tidak jelas] atau tempat lain, nampaknya tidak mencapai apa-apa perkembangan. Saya tak tahu apakah status Baladna itu dikeluar.
Yang ketiga, kita melihat sekarang ini dalam segi task force. Kita tak nampak task force yang jitu di antara Kementerian Keterjaminan Makanan, Kesihatan dan juga Pendidikan. Jadi, semuanya lompong — dua hingga tujuh itu siapa yang ambil tindakan? Masalahnya adalah kanak-kanak kita. Jadi, adakah kerajaan akan mengemukakan dengan segera penubuhan task force bagi penyelesaian isu susu yang boleh menyelesaikan isu bantut di kalangan kanak- kanak? Terima kasih.
Tuan Haji Aminolhuda bin Hassan - Sri Gading
Saya minta Yang Berhormat Menteri untuk menjawab.
Datuk Seri Haji Mohamad bin Sabu
Memang kita ada jawatankuasa khas ke arah untuk mencukupkan daging dan susu di Malaysia ini pada masa akan datang. Cuma, yang terdekat kita boleh capai ialah susu. Daging itu masih lagi dalam program kita untuk capai 2030, 50 peratus. Satu angka yang agak tinggi itu tapi kita cuba habis-habisan. Tapi susu insya-Allah kita sampai ke peringkat itu.
Memang bila kita dalam keadaan tersepit, kita akan usaha berikhtiar supaya ia dapat diusahakan di Malaysia. Misalnya, jagung kita tahu dihantar makanan lembu. Bila harga menaik melambung, kita mencari jalan supaya ia nya dapat dibuka di Malaysia. Kita lihat di antaranya sekarang negeri yang melaksanakan peringkat awal ini secara besar-besaran ialah Perlis. Walaupun negerinya kecil, tapi dia menawarkan tanah yang luas di sana untuk tanaman jagung bijian yang dimulakan oleh FGV di sana. Dan kita menyedari bahawa usaha untuk menanam jagung ini supaya ia dapat mengurangkan import jagung bijian ini kerana kita tahu kita import 100 peratus selama ini.
Qatar dia ada Baladna yang mencukupkan lembu itu. Di antaranya mereka terpaksa buat sebab waktu itu mereka diboikot oleh negeri kelilingnya, ada kesan- kesan politik pada waktu itu. Maka, mereka terpaksa buat sendiri dah akhirnya mereka berjaya mencukupkan lembu dan susunya kepada rakyat mereka.
Datuk Seri Haji Mohamad bin Sabu
Kita taklah sampai diboikot, tapi bila berlaku kenaikan harga yang begitu tinggi kesan daripada faktor luar, maka kita kena berusaha mencukupkan keadaan tempatan ini. Sebab itulah kita nak berkempen sekarang minum susu tempatan, sedangkan susu tempatan belum lagi cukup.
Sebab itu kita berusaha akan mula berkempen di tahun — hujung tahun ini dan insya-Allah dia akan capai susu di Malaysia ini akan capai cukupnya SSR dalam masa dua tahun lebih yang akan datang. Di sekitar dua tahun kerana kita nampak sambutan yang diberikan dan juga insentif yang diberi oleh kerajaan. So, misalnya kalau ada pembelian mesin, pemodenan dan sebagainya, hal-hal pertanian ini dikecualikan cukai. Ini menyebabkan berlaku satu gerakan insentif yang dibuat dan disambut oleh pihak-pihak swasta terutama sekali yang akan insya-Allah mencukupkan keluaran susu di Malaysia ini.
Dato’ Seri Dr. Shahidan bin Kassim - Arau
Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Tuan Yang di-Pertua yang dikasihi, saya harap Dato' boleh kekal Yang di-Pertua sampai ke Dewan Parlimen daripada Kamar Khas. Terima kasih kepada kawan-kawan saya yang hadir Pendang, Jerai, Kangar, Padang Terap, Tumpat juga hadir pada hari ini.
Tuan Yang di-Pertua, saya ingin menarik perhatian Dewan yang mulia ini terhadap satu isu mendesak di negeri Perlis. Jabatan Pengairan dan Saliran Perlis telah mengenal pasti sebanyak 22 kawasan panas atau hotspots yang berdepan masalah saliran dan pengairan. Antara kawasan terlibat termasuklah Kampung Bakau di Kangar, Kampung Titi Besi, Kampung Sungai Padang serta Kampung Kubang Gajah di daerah Arau. Kawasan-kawasan ini sering menjadi mangsa banjir kilat setiap kali hujan lebat.
Masalah utama yang dikenal pasti ialah infrastruktur saliran yang tidak mencukupi, kedudukan kawasan rendah yang mudah dinaiki air, serta cabaran melibatkan tanah persendirian yang menyukarkan kerajaan melaksanakan penyelesaian menyeluruh. Walaupun usaha jangka pendek seperti penggunaan pam bergerak dan kerja penyelenggaraan empat kali setahun telah dilakukan, ia jelas tidak cukup untuk mengatasi isu yang berulang saban tahun.
Tuan Yang di-Pertua, kita perlu jujur. Rakyat melihat kerajaan pusat kerap mengumumkan peruntukan berjuta-juta ringgit bagi projek pengairan dan saliran.
Namun di peringkat negeri, pelaksanaannya amat perlahan, malah ketelusan perbelanjaan juga dipersoalkan. Apakah masalah sama terus berlaku? Ini bukan sekadar soal kekurangan dana, tetapi isu kegagalan pengurusan dan juga keutamaan.
Perlis adalah negeri kecil, tetapi tidak seharusnya dipinggirkan hanya kerana ia tidak mempunyai kuasa lobi besar. Formula agihan peruntukan yang tidak mengambil kira keperluan kritikal negeri ini telah menyebabkan rakyat terus menanggung kerugian harta benda, kerosakan jalan, kenderaan dan rumah mereka. Isu asas seperti banjir kilat tidak boleh dijadikan ‘bola sepak politik’ antara kerajaan negeri dan pusat.
Justeru, saya mencadangkan agar dibuat pemetaan risiko menyeluruh bagi menentukan keutamaan setiap hotspot, pembangunan infrastruktur hijau seperti kolam takungan dan telaga resapan, serta kerjasama lebih erat antara agensi dan pemilik tanah swasta. Penyelenggaraan juga mesti dilakukan lebih kerap, khususnya sebelum musim hujan. Tambahan pula, sistem amaran awal paras air perlu diwujudkan agar rakyat tidak menjadi mangsa secara tiba-tiba.
Tuan Yang di-Pertua, jika isu ini terus diabaikan, implikasinya amat besar kerana bukan sahaja kerugian kewangan dan harta benda, tetapi juga hilangnya keyakinan rakyat terhadap keupayaan kerajaan dalam menjaga keselamatan asas mereka. Oleh itu, saya mendesak agar perhatian serius dan segera diberikan demi memastikan rakyat Perlis tidak terus menjadi mangsa banjir yang berulang tanpa penyelesaian termasuk peruntukan sementara serta-merta.
Terima kasih. Itu saya tambah, Tuan Yang di-Pertua.
Tuan Haji Aminolhuda bin Hassan - Sri Gading
Minta Yang Berhormat Menteri untuk menjawab.
Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air - Dato’ Sri Haji Abdul Rahman bin Haji Mohamad
Terima kasih, Timbalan di-Pertua.
Terima kasih sahabat saya kekanda Arau. Yang Berhormat Arau atas perkara yang telah dibangkitkan berkaitan masalah sistem saliran yang menyebabkan kejadian banjir kilat di beberapa kawasan berisiko di negeri Perlis, khususnya melibatkan Kampung Bakau di Kangar — ada YB Kangar di sini. Kampung Titi Besi, Kampung Sungai Padang serta Kampung Kubang Gajah di daerah Arau.
Kerajaan mengambil maklum dan memandang serius isu kejadian banjir kilat yang berlaku secara berulang yang menjejaskan kelancaran aktiviti harian penduduk dan kesejahteraan hidup masyarakat setempat. Kerajaan sentiasa memberi perhatian bagi memastikan sistem saliran di negeri Perlis ditambah baik dari semasa ke semasa.
Perkara yang dibangkitkan punca kejadian banjir kilat di Perlis. Yang Berhormat Yang di-Pertua, untuk makluman Ahli Yang Berhormat, berdasarkan penilaian JPS Negeri Perlis, kejadian banjir kilat di negeri ini berpunca daripada beberapa faktor antaranya taburan hujan berintensiti tinggi dalam tempoh singkat yang melebihi keupayaan sistem saliran sedia ada, kedudukan kawasan rendah, peningkatan air larian permukaan akibat pembangunan setempat serta kekangan tanah persendirian yang mengehadkan pelaksanaan kerja-kerja naik taraf secara menyeluruh.
Sehubungan itu, Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air
(PETRA) melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah mengambil pendekatan secara berfasa yang merangkumi langkah mitigasi jangka pendek dan jangka panjang bagi memastikan pengurusan risiko banjir dapat ditangani secara lebih menyeluruh, tersusun dan berkesan.
Apakah tindakan mitigasi jangka pendek? Yang Berhormat Yang di- Pertua, bagi tindakan mitigasi jangka pendek, PETRA melalui JPS turut melaksanakan kerja-kerja kecil di bawah Projek Pemuliharaan Sungai untuk Mengurangkan Risiko Banjir. Peruntukan berjumlah RM9.5 juta telah disalurkan ke negeri Perlis pada tahun 2022 hingga 2025 untuk melaksanakan kerja-kerja kecil melibatkan skop utama seperti kerja-kerja pengaluran sungai, kerja-kerja menstabilkan tebing sungai dan menaik taraf saluran serta struktur berkaitan.
Sebagai makluman bagi tahun 2026, PETRA melalui JPS juga akan meneruskan pelaksanaan kerja-kerja kecil ini dengan peruntukan yang diluluskan berjumlah RM2 juta untuk negeri Perlis. Pengagihan peruntukan akan dibuat berdasarkan keutamaan kawasan berisiko yang telah dikenal pasti di peringkat negeri.
Dan tindakan mitigasi jangka panjang. Bagi tindakan jangka masa panjang pula, PETRA melalui JPS telah menyiapkan beberapa projek untuk mengurangkan risiko banjir. Projek-projek yang telah siap sepenuhnya adalah Projek Lencongan Banjir Barat Timah Tasoh, menaik taraf Empangan Timah Tasoh Fasa 1, Fasa 2 dan Fasa 3 (Pakej 1), projek meninggikan ban sedia ada dan kerja berkaitan dari pantai Kuala Perlis ke Kuala Sungai Baru serta projek meninggikan ban sedia ada dan kerja berkaitan dari pantai Sungai Padang, Kuala Sanglang, Perlis. Kos keseluruhan projek-projek ini berjumlah RM590 juta.
Banyak Yang Berhormat Yang di-Pertua. Di Lipis tak dapat. Di Arau dapat.
Tuan Haji Aminolhuda bin Hassan - Sri Gading
Itulah.
Dato’ Sri Haji Abdul Rahman bin Haji Mohamad
Selain itu, PETRA melalui JPS sedang melaksanakan tiga projek di negeri Perlis. Antaranya ialah projek menaik taraf Empangan Timah Tasoh Fasa 3 yang merangkumi Pakej 2 dan Pakej 3. Pakej 2 bernilai RM47.6 juta dijangka siap pada April 2027, manakala Pakej 3 bernilai RM99.8 juta dijangka siap pada Jun 2027.
Skop utama kedua-dua pakej melibatkan kerja-kerja meninggikan ban perlindungan empangan, menaiktarafkan sungai, pembinaan kolam takungan banjir serta sistem electrical dan mekanikal. Sehingga 10 Februari 2026, kemajuan fizikal bagi Pakej 2 adalah 94.20 peratus manakala Pakej 3 telah mencapai 43.49 peratus.
Manakala bagi projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Lembangan Sungai Perlis dengan kos kontrak sebanyak RM47.9 juta yang dijangka siap pada April 2027. Skop bagi projek ini adalah kerja membina satu unit struktur baraj, sistem pam dan laluan navigasi. Kemajuan fizikal sehingga 10 Februari 2026 adalah 47.46 peratus.
Dato’ Sri Haji Abdul Rahman bin Haji Mohamad
Di samping itu, kerja menaik taraf Kolam Takungan Banjir Chuping telah diluluskan di bawah Rolling Plan Pertama Rancangan Malaysia Ketiga Belas.
Projek ini kini dalam proses pelantikan perunding dan kerja fizikal dijangka bermula pada penghujung tahun 2027 bagi mengurangkan risiko banjir di sekitar Sungai Arau, khususnya bandar Arau.
Bagi bidang kuasa penyenggaraan sistem saliran Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua, untuk makluman Ahli Yang Berhormat juga, pengurusan sistem saliran negara ini melibatkan kerjasama pelbagai pihak selain JPS, pengurusan sistem saliran turut melibatkan pihak berkuasa tempatan (PBT), Pejabat Daerah, Jabatan Kerja Raya, pemaju serta agensi-agensi lain mengikut bidang kuasa masing-masing. Secara umumnya, sistem saliran dalaman di kawasan perumahan dan perkampungan termasuk rangkaian longkang sehingga ke titik pelepasan akhir adalah di bawah tanggungjawab PBT selaras dengan Akta Jalan,
Parit dan Bangunan 1974 - Akta 133
.
Manakala sistem saliran semula jadi seperti sungai dan anak sungai pula adalah di bawah tanggungjawab JPS. Sebagai contoh di negeri Perlis, sistem pengairan skim padi turut berfungsi sebagai sistem saliran di beberapa kawasan.
Bagi kawasan jelapang padi, pengurusan sistem pengairan adalah di bawah MADA, manakala kawasan lain adalah di bawah tanggungjawab JPS.
Yang Berhormat Yang di-Pertua, kerajaan sentiasa memberi perhatian sewajarnya kepada negeri Perlis. Walaupun kecil — ini tambahlah. Bukan dalam ayat. Walaupun kecil, sebagaimana negeri-negeri lain dengan agihan peruntukan dilaksanakan secara adil berdasarkan keperluan teknikal serta tahap risiko setempat. Pada masa yang sama, usaha menangani isu banjir ini memerlukan kerjasama bersepadu semua pihak melibatkan Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan, agensi berkaitan serta komuniti setempat supaya sentiasa perancangan dan pelaksanaan dapat dilaksanakan secara menyeluruh dan berkesan. Terima kasih Yang Berhormat Yang di-Pertua.
Tuan Haji Aminolhuda bin Hassan - Sri Gading
Saya persilakan Yang Berhormat Arau untuk mengajukan pertanyaan.
Dato’ Seri Dr. Shahidan bin Kassim - Arau
Okey, terima kasih atas jawapan yang baik. Terima kasih Pengarah-pengarah JPS dan juga Ketua Pengarah JPS.
Persoalan yang besar sekarang ini ialah jawapan tadi. Hujan lebat setempat menyebabkan banjir tapi bila kita nak buat projek tebatan banjir itu, kadang-kadang dia ambil kira benda ini. Sebab kena ingat, hebat macam mana pun engineers, dia kena tanya orang tempatan. Saya melalui proses banjir yang cukup panjang dan saya tengok tebatan banjir yang dibuat itu memang duit banyak. Tapi kesannya tidak ada.
Kita tak sebut di sini air daripada Titi Besi, Sungai Kumbang Gajah, Arau itu mengalir ke sungai MADA. MADA lepas air di empang, air naik dan di sana pula air pasang. Itu cerita yang berlaku. Jadi, apakah pendekatan diambil supaya kiri, kanan MADA ini tidak berlaku banjir ya.
Yang keduanya ialah pembangunan moden yang tidak dikawal dengan baik oleh kerajaan negeri dan juga pihak berkuasa tempatan. Bukan di Perlis, seluruh negara iaitu pembinaan lot lidi — pembangunan lot lidi, iaitu perumahan- perumahan kecil yang dibuat itu tanpa saliran yang sebenar dan ia nya telah disalirkan ke kawasan bendang dan ini juga penyebab kepada berlakunya banjir.
Dan akhir sekali Yang Berhormat, saya minta JPS libatkan diri secara terus menentang pembinaan jalan pintas. Jalan pintas itu menyebabkan banjir sebab apa, bila dibuat jalan pintas, longkang apa tu — pembetung yang dibuat itu tidak mampu untuk menampung air. Jadi, air akan bertakung di sebelah. Jadi Perlis ini, orang berebut-rebut buat jalan pintas kerana kawasan MADA tidak ada pokok, tidak ada apa. Senang dibuat jalan pintas. Tidak perlu jalan pintas. Yang kita perlu sungai pintas.
Jadi, apakah JPS, kementerian menghalang JKR supaya jangan buat jalan pintas. Buat sungai pintas tak apa. Sebab jalan pintas, akhirnya orang akan bina rumah di kiri kanan jalan, dia akan menyumbang kepada banjir sebab rumah- rumah yang dibuat tidak ada saliran yang konkrit. Jadi, saya minta Yang Berhormat memberi perhatian kepada perkara ini. Tak boleh jawab pun tak apa, jawab bertulis.
Yang keduanya, peruntukan sementara itu kalau boleh maklum juga kepada Ahli Parlimen. Para Ahli Parlimen nak tengok sama ada ia nya dibelanjakan dengan baik dan wajar. Terima kasih.
Tuan Haji Aminolhuda bin Hassan - Sri Gading
Minta Yang Berhormat Menteri untuk menjawab.
Dato’ Sri Haji Abdul Rahman bin Haji Mohamad
Terima kasih Yang Berhormat Arau. Terima kasih Yang Berhormat Yang di-Pertua.
Sebenarnya Yang Berhormat Arau, sebentar tadi dalam kemukakan soalan tersebut merupakan berbentuk pandangan. Berbentuk pandangan dan sudah pasti pandangan tersebut pihak kami di PETRA ataupun melalui JPS akan mengambil kira pandangan Yang Berhormat Arau. Dan Yang Berhormat Arau ini merupakan kita tahu orang yang sangat otai, orang yang lama. Memang beliau mahir dalam bidang-bidang ini sebenarnya. Termasuklah saya pernah bercakap waktu discussion tadi saya beritahu Arau ini merupakan orang yang salah seorang pandai mengenali pam sedut air bila banjir.
Beliau pernah NADMA dan sebagainya dan pernah jaga Parlimen. Sudah pasti perkara ini dalam pemikiran beliau sahaja. Dan perkara yang membangkitkan itu seperti jalan pintas seumpamanya sudah pasti kita ada Pengarah JPS hadir sama hari ini akan mengambil maklum dan kita akan teliti perkara tersebut. Dan dari segi banjir dan sebagainya, sebenarnya kita mengambil kira. Nanti lain kali mungkin beberapa projek ini boleh kita mengambil kira melalui penduduk-penduduk tempatan.
Memang saya setuju dengan Yang Berhormat Arau kata, waktu kami pembinaan rumah rakit untuk buat pusat pelancongan, tidak mengambil kira — di Lipis. Tidak mengambil kira orang tempatan, akhirnya rakit itu hanyut. Tapi rakit orang tempatan tak hanyut pun kerana mereka ada pengalaman membina rumah rakit tersebut.
Jadi Yang Berhormat Arau, dari segi kapasiti hujan, Arau pernah berlaku di dalam kawasan Perlis, di Arau utamanya pernah berlaku kapasiti hujan dua hari bersamaan dengan 30 hari. Pernah berlaku. Maka berlaku di Kangar, berlaku di Arau dan seluruh Perlis termasuk Padang Besar berlaku banjir tersebut kerana kapasiti hujan yang sangat tinggi. Dua hari bersamaan dengan 30 hari, maka banjir besar berlaku [Tidak jelas] dan dia termenung sekejap di Arau air tersebut.
Dan ini semua yang kami fikirkan apabila buat ban dan sebagainya, sudah pasti mengambungkan kira aliran air dan sebagainya.
Jadi, terima kasih atas pandangan Arau. Insya-Allah kita mengambil kira pandangan Arau tersebut. Projek-projek kecil mungkin tak cukup RM2 juta mungkin yang boleh ditambah serba sedikit dari sebagai tambahan keperluan di Arau ini amat tinggi juga berlaku banjir-banjir kecil sebenarnya. Terima kasih.
Terima kasih kepada Kangar dapat hadir bersama.
Dato’ Seri Dr. Shahidan bin Kassim - Arau
Terima kasih — nak ucap terima kasih boleh ya? Boleh mencelah?
Tuan Haji Aminolhuda bin Hassan - Sri Gading
Dah habis dah.
[Ketawa]
Dato’ Seri Dr. Shahidan bin Kassim - Arau
Oh.
Tuan Haji Aminolhuda bin Hassan - Sri Gading
Tak ada soalan tambahan seterusnya.
Dato’ Seri Dr. Shahidan bin Kassim - Arau
Tuan Yang di-Pertua, sahabat-sahabat Ahli Parlimen, Yang Berhormat Menteri yang hebat dan dahsyat.
Yang menjawab dengan begitu panjang lebar tadi, saya ingin bangkitkan apa yang telah dikemukakan.
Tuan Yang di-Pertua, saya bangkitkan isu serius berkaitan kartel padi dan beras yang telah lama membelenggu ekosistem makanan ruji negara serta membebankan rakyat. Pada masa ini, harga beras tempatan 10 kilogram berada di sekitar RM26, manakala beras import dijual antara RM33 sehingga RM35 tapi laporan yang dikeluarkan itu ialah RM29 sehingga RM40.
Namun realitinya, pengguna sering membayar harga lebih tinggi tanpa jaminan kualiti sebenar. Menurut Pengerusi Gabungan Pengilang-Pengilang Beras Malaysia, Marzukhi Othman, kartel syarikat besar menguasai lebih 70 peratus pasaran beras negara, sekali gus menekan pengilang kecil dan sederhana hingga gagal bersaing. Perkara ini disahkan lagi oleh Datuk Syed Abu, Ketua Kluster Makanan NACCOL yang mendedahkan kewujudan empat hingga lima syarikat besar, mengawal hingga 80 peratus pasaran termasuk pembelian padi dan pengedaran beras.
Tuan Yang di-Pertua, lebih membimbangkan terdapat dakwaan bahawa beras tempatan dijual dalam bungkusan beras import. Satu bentuk manipulasi kartel yang jelas menipu pengguna. Akibatnya, rakyat membeli beras tempatan tetapi membayar pada harga import. Malah, ada mencecah melebihi harian RM40 sekampit. Ini bukan lagi kegagalan pasaran biasa tetapi penyelewengan sistematik yang merosakkan keyakinan rakyat, menindas pesawah dan menjejaskan keselamatan makanan negara.
Struktur pasaran yang benarkan pengelasan beras tempatan dan import secara berasingan telah membuka ruang luas kepada manipulasi, pencampuran dan kawalan harga oleh kartel. Selagi sistem ini dikekalkan, selagi itulah kawasan pesawah terus ditekan, pengguna terus ditertipu dan kerajaan terpaksa menanggung inflasi kos sara hidup.
Dato’ Seri Dr. Shahidan bin Kassim - Arau
Justeru, saya mencadangkan kerajaan menetapkan harga beras pada gred tunggal, tanpa pengelasan beras tempatan atau import. Penyeragaman gred ini akan menutup ruang manipulasi kartel yang mencampurkan beras tempatan dengan beras import. Kesannya, ekosistem padi dan beras negara dapat distabilkan secara menyeluruh, adil kepada pesawah, pengilang dan pengguna.
Tuan Yang di-Pertua, isu ini menyentuh hak rakyat kepada makanan asas yang adil dan telus. Kerajaan tidak boleh terus berkompromi dengan kartel yang mengaut keuntungan atas penderitaan rakyat. Tindakan tegas dan pembaharuan struktur pasaran mesti dilaksanakan segera. Terima kasih.
Tuan Haji Aminolhuda bin Hassan - Sri Gading
Minta Yang Berhormat Menteri untuk menjawab.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan - Datuk Seri Haji Mohamad bin Sabu
Tuan Yang di-Pertua, sekali lagi yang menyoal ini yang berpengalaman duduk di sekitar sawah padi dan biasa berada dalam LPN dan sudah tentulah mengetahui secara mendalam hal industri padi dan beras di Malaysia ini.
Dalam kartel industri padi dan beras, untuk makluman Yang Berhormat, bidang kuasa kementerian terhadap industri padi dan beras adalah mengawal selia industri berpandukan kepada Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 iaitu Akta 522. Manakala, entiti yang diberikan kuasa serta peranan untuk menyiasat aktiviti kartel dan seumpamanya adalah Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) yang terletak di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.
Bagaimana termaklum, pihak MyCC telah menjalankan kajian ke atas industri padi dan beras bermula Februari 2024 hingga Oktober 2024. Hasil kajian tersebut telah dibentangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Keterjaminan Makanan Negara Bilangan 2 Tahun 2024 pada 17 Disember 2024. Berdasarkan kajian tersebut, pihak MyCC tidak menemui sebarang amalan anti-persaingan atau apa-apa isu yang bertentangan dengan peruntukan Akta
Persaingan 2010 - Akta 712
.
Untuk makluman juga, kementerian sentiasa membuka ruang kepada semua pihak untuk turut sama terlibat dalam ekosistem perniagaan padi dan beras. Untuk rekod, secara keseluruhannya, pada masa ini terdapat 28,618 jumlah pemegang lesen yang terdiri daripada 145 pembeli padi, 118 pengilang, 1,099 pemborong, 148 pengimport, 44 pengeksport dan 27,064 peruncit berlesen yang masih terlibat aktif dalam industri padi dan beras negara.
Sebagaimana Yang Berhormat sedia maklum, kajian MyCC pada tahun 2024 juga mendapati berlaku aktiviti proses pencampuran beras putih tempatan dengan beras putih import di dalam industri padi dan beras. Menurut dapatan MyCC juga, amalan pencampuran beras ini didapati telah berlaku sejak tahun 1970-an iaitu selepas penubuhan Lembaga Padi dan Beras Negara. Sehubungan itu, MyCC telah merumuskan bahawa tujuan pencampuran ini adalah untuk memenuhi cita rasa pengguna tempatan dan menghasilkan variasi jenama di pasaran.
Justeru itu bagi menyelesaikan perkara ini, MyCC telah mengesyorkan supaya kerajaan membenarkan pencampuran beras melalui pindaan akta dan pelaksanaan liberalisasi harga beras putih tempatan sebagai kaedah penyelesaian masalah struktur harga dan bekalan beras. Melalui beberapa sesi libat urus kementerian dengan pemegang taruh di dalam industri padi dan beras sepanjang 2025 dan kali terakhir dibuat 1 Ogos 2025, kementerian telah mengemukakan cadangan mengenai hala tuju pembekalan beras putih dalam negara.
Seterusnya, kementerian telah membentangkan cadangan untuk membenarkan pencampuran beras putih dan penjualan beras putih tempatan pada harga apungan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Keterjaminan Makanan Negara Bilangan 2 Tahun 2025 pada 22 Oktober 2025 yang dipengerusikan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri. Cadangan yang kemukakan telah mengambil kira kos pengeluaran padi dan beras, gred dan harga kawalan BPT, trend pasaran, kerangka perundangan, kesan kepada pengguna termasuk mekanisme bagi menangani amalan pencampuran beras sebagai usaha penyelesaian jangka panjang yang menyeluruh demi keseimbangan dalam industri padi dan beras.
Perkara ini telah dibincangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri dan telah diputuskan supaya harga beras putih tempatan dikekalkan dengan harga RM2.60 sekilogram di pasaran runcit dan dalam masa yang sama, membenarkan pencampuran beras putih melalui wujud dua kategori gred beras putih campuran.
Melalui keputusan penting ini, kerajaan telah memberi jalan penyelesaian tuntas kepada isu amalan pencampuran beras yang telah berlaku semenjak sekian lama dalam industri padi dan beras negara, iaitu sejak tahun 70-an lagi.
Keputusan untuk mengekalkan harga beras tempatan dan membenarkan percampuran beras dibuat selepas meneliti secara menyeluruh kedudukan pengeluaran beras putih tempatan, pergerakan dan risiko turun naik harga beras dunia serta keperluan melindungi pengguna dan pesawah. Ini termasuk bagi memastikan rakyat khususnya golongan B40 terus mendapat akses kepada beras pada harga berpatutan. Keputusan ini juga dibuat selepas mengambil kira hasil kajian syor MyCC serta langkah pengurusan bekalan. Ia bertujuan memastikan bekalan beras di pasaran kekal stabil dan mencukupi, terutamanya ketika beras tempatan mengalami kekangan bekalan akibat faktor cuaca, kos pengeluaran dan serangan penyakit. Manakala, bekalan beras import akan terus dikawal melalui kuota import yang diberikan kepada BERNAS.
Kerajaan terus mengambil pendekatan seimbang di antara pesawah dan pengguna untuk memberikan bantuan kepada pesawah dengan menaikkan harga lantai padi serta pelbagai insentif terus disediakan untuk melindungi pendapatan pesawah. Dalam masa yang sama, harga beras untuk pengguna dipantau supaya tidak melonjak tinggi. Ini penting kerana keterjaminan makanan negara bukan hanya soal survival pesawah tapi juga soal kebajikan rakyat.
Dalam memastikan pelaksanaan berjalan dengan telus dan lancar, kebenaran pencampuran beras akan dilaksanakan secara terkawal dan tertakluk kepada peraturan pelabelan serta pemantauan rapi. Saya juga ingin memaklumkan mengenai perwujudan dua gred beras putih campuran, di samping mengekalkan beberapa jenis gred beras sedia ada bagi menggantikan kategori gred beras sedia ada yang telah ada di pasaran sejak tahun 1992.
Sehubungan itu, PKPM ingin menegaskan melalui pengemaskinian kategori gred beras baharu ini akan memberi ketelusan maklumat kepada pengguna serta panduan kepada industri dalam melabel gred beras dan menetapkan harga jualan. Oleh yang demikian, setiap gred baharu beras ini perlu memenuhi standard dan spesifikasi spesifik pengedaran beras dan yang ditetapkan oleh kerajaan. Sikit lagi ya, Tuan Arau.
Tuan Haji Aminolhuda bin Hassan - Sri Gading
Silakan.
Datuk Seri Haji Mohamad bin Sabu
Untuk makluman Yang Berhormat, cadangan mewujudkan satu gred beras yang tidak mempunyai identiti jelas sama ada beras tempatan, beras import atau campuran kedua-duanya adalah tidak selaras dengan keperluan sebenar rakyat. Isu utama yang dihadapi oleh pengguna ialah kesukaran mendapatkan bekalan beras putih pada harga yang kompetitif serta ketersediaan bekalannya yang konsisten dan di pasaran.
Penetapan satu harga bagi satu gred beras juga dilihat kurang sesuai untuk dilaksanakan kerana harga beras import tertakluk kepada faktor luaran seperti turun naik pasaran dunia dan kadar pertukaran mata wang asing.
Datuk Seri Haji Mohamad bin Sabu
Keadaan ini berpotensi memberi kesan kepada kestabilan harga beras putih di pasaran tempatan dan seterusnya membebankan pengguna. Selain itu, perwujudan satu gred beras akan mengehadkan pilihan pengguna. Sekiranya harga beras import dunia meningkat, pengguna seharusnya mempunyai alternatif untuk memilih beras tempatan yang lebih berpatutan dari segi harga. Oleh itu, kepelbagaian gred beras perlu dikekalkan bagi memastikan pilihan, ketulusan serta pelindungan tak ada kepentingan pengguna.
Kesimpulannya, perwujudan satu gred beras bukan saja tidak menyelesaikan masalah sebenar rakyat, malah berisiko menjejaskan akses serta pilihan kepada pengguna terhadap gred-gred beras lain termasuk beras tempatan yang lebih mampu milik serta kestabilan harga di pasaran. Kementerian akan terus melaksanakan pemantauan dan kawalan terhadap industri utama negara bagi memastikan kepentingan semua pihak di sepanjang rantai industri sentiasa terpelihara.
Untuk maklumat Ahli Yang Berhormat, selaras dengan perubahan pada kategori gred beras baharu seperti yang dinyatakan, seksyen 29 Akta 522 memberi kuasa kepada Menteri yang dipertanggungjawab dengan bagi padi dan beras untuk mengubal peraturan-peraturan bagi memastikan kelancaran dan keberkesanan pelaksanaan akta tersebut. Untuk itu, satu peraturan baharu akan digubal pada Akta 522 bagi menguatkuasakan spesifikasi penggredan beras putih yang baharu. Gred beras sedia ada termasuk gred-gred beras istimewa seperti beras wangi, beras pulut, beras basmati, beras rebus, beras perang dan lain-lain serta penetapan harga kawalan bagi gred beras terpilih. Pindaan ini akan dikemukakan pada sesi Parlimen akan datang.
Melalui peraturan baharu ini, spesifikasi gred dan harga beras akan ditetapkan bagi memastikan mutu dan harga beras sentiasa dalam kawalan dan melindungi kepentingan semua pihak. Matlamat utama penetapan harga kawalan bagi gred beras terpilih adalah untuk menjamin kestabilan bekalan beras di pasaran dan melindungi pengguna terutamanya golongan berpendapatan rendah.
Di samping itu, peraturan ini juga akan menetapkan kewajipan pengeluaran beras untuk menyatakan maklumat produk dengan jelas antaranya harga dan kandungan beras hancur bagi setiap produk beras yang dijual bagi memastikan penggunaan mendapat maklumat — pengguna mendapat maklumat yang betul mengenai produk yang dibeli. Pelanggaran mana-mana peruntukan di bawah peraturan baharu tersebut merupakan satu kesalahan di bawah Akta 522.
Selain itu, penggubalan peraturan baharu ini akan memperkasa peranan MARDI dan agensi-agensi penyelidikan yang lain dalam menyediakan bukti saintifik yang kukuh bagi membantu pihak berkuasa dan dalam proses pendakwaan bagi kes berkaitan beras, di mahkamah nanti.
Dalam masa yang sama, kementerian akan bekerjasama dengan mana- mana pihak seperti Kementerian KPDN melalui penguatkuasaan di bawah perundangan sedia ada seperti Akta Perihal Dagangan 2011 dan Akta
Perlindungan Pengguna 1999 - Akta 599
, Kementerian Kesihatan melalui Akta
Makanan 1983 - Akta 281
dan serta lain-lain kementerian yang berkaitan.
Kesimpulannya, keputusan menyusun semula struktur gred dan harga beras ini dibuat berasaskan prinsip utama keterjaminan makanan negara, iaitu memastikan bekalan mencukupi, harga stabil dan semua pihak dalam rantaian padi dan beras daripada pesawah hingga pengguna terus dilindungi. Buat masa ini, kadar sara diri beras 52.9 peratus dan pengeluaran beras semasa dalam negara tidak dapat menampung keperluan domestik. Justeru, Malaysia masih bergantung kepada bekalan beras import.
Namun begitu, saya ingin memberi jaminan bahawa kerajaan merupakan kementerian ini, pada bila-bila masa boleh melaksanakan apa-apa bentuk intervensi. Ini Yang Berhormat pun fahamlah hal masalah perjalanan masalah beras ini. Kerajaan ada bila-bila masa boleh apa-apa bentuk intervensi yang bersesuaian berdasarkan Akta 522 sekiranya berlaku gangguan atau ketidakstabilan pada keseluruhan rantaian penghasilan dan pembekalan padi dan beras tempatan termasuk ke atas beras yang diimport serta kegunaan domestik di pasaran Malaysia.
Inilah saya ingat jawapan saya yang terpanjanglah hal padi dan beras ini semasa menjadi Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan ini. Di antaranya, menghormati pertanyaan Arau, sahabat saya.
Tuan Haji Aminolhuda bin Hassan - Sri Gading
Saya persilakan Yang Berhormat Arau untuk mengajukan pertanyaan.
Dato’ Seri Dr. Shahidan bin Kassim - Arau
Terima kasih Tuan Yang di- Pertua yang telah mempengerusikan mesyuarat yang baik kali pertama di Dewan ini, alhamdulillah. Dan jawapan Menteri hari ini cukup luar biasa. Maka, saya mencadangkan supaya pindaan ini dirujuk kepada select committee dua kali.
Satu, semasa draf. Yang keduanya, semasa siap draf, kita bawa kepada select committee. Dengan itu, kami boleh memberi pandangan-pandangan.
Yang kedua, saya nak protes kepada pengimport beras ini. Maaflah, saya ada interest pada masa yang lepas. Sekarang tak ada apa dah, kosong ya. Saya nak beritahu masa untung dia tak cakap apa. Masa rugi baru dah cakap. Kenapa masa untung dia tak cakap? Masa dia import harga murah, dia untung dia tak beritahu. Tapi bila dia import harga mahal, dia rugi, dia beritahu. Hanya beritahu masa rugi, masa untung tak beritahu.
Apakah kerajaan tidak mengambil kira bahawa perbuatan tersebut sebenarnya dia sendiri patut tampung, dia kena ambil risiko. Kalau sekiranya dia import rugi, dia kena tampung masa dia untung. Itu yang sepatutnya berlaku dalam public listed company. BERNAS ialah public listed company tapi sekarang telah di-privatize-kan kepada individu dan ini kita menghadapi masalah.
Sewajarnya BERNAS dikembalikan balik kepada hak petani, nelayan, penternak dan juga rakyat Malaysia dan di-listing semula.
Yang kedua Yang Berhormat, saya terima kasih apa Yang Berhormat telah sebutkan. Terima kasih banyak-banyak. Ini jawapan yang cukup bagus, kita boleh sebarkan. Tetapi Yang Berhormat benda yang besar sekarang ini, campuran ini sedang berlaku sekarang. Campuran beras hancur itu dibenarkan 20 peratus.
Jadi, sekarang ini masalah besar ini, beras import ini, beras MRQQ — MR 333 Menora dari segi panjang dan juga kualiti keseluruhan, semua seperti beras siam.
Makna kata, dia boleh bila-bila masa menjadi beras siam. Ini beras tempatan.
Yang kedua, beras wangi variety MRQ76 menyerupai Beras Jasmin, Thailand. Jadi, tapi dia duduk di Malaysia, harganya RM26, 10 kilo. Tapi kalau dia pergi Thailand, dia akan dapat RM30 sampai RM30 ke RM40. Itu sebab saya cadangkan supaya campuran itu bagi saya nombor dua. Yang paling penting harga. Kalau harga tempatan dapat diapungkan, ataupun diletakkan ke satu tahap yang boleh bersaing dengan baik, saya rasa itu yang terbaik. Campuran itu nombor dua. Yang masa itu ialah harga.
Dan keduanya kita tahu bahawa orang tak seronok mengeluarkan beras tempatan kerana beras tempatan harga murah. Dia lebih seronok mengeluarkan beras import. Jadi, kalau ditanya kita kata MYCC telah buat kajian, apakah MYCC buat kajian yang telah diperkenalkan oleh MARDI, Dr. Mohamad Zabawi punya kenyataan, yang dikeluarkan kenyataan, bahawa beras tempatan boleh jadi beras import.
Jadi, kalau sekiranya beras tempatan pada harga yang berkenaan, saya rasa boleh menimbulkan masalah. Tetapi apa pun kita kena ingat bahawa undang- undang ini boleh dipinda daripada masa ke semasa.
Akhir sekali Yang Berhormat, untuk boleh Yang Berhormat menjadi orang yang terbaik di dunia ini dalam bulan puasa.
Tuan Haji Aminolhuda bin Hassan - Sri Gading
Ringkaskan.
Dato’ Seri Dr. Shahidan bin Kassim - Arau
Naiklah harga padi daripada RM1,500 ke RM1,800. Terima kasih.
Tuan Haji Aminolhuda bin Hassan - Sri Gading
Minta Menteri untuk menjawab.
Datuk Seri Haji Mohamad bin Sabu
Kalau pandangan yang diberi tadi memang ada asasnya dan memang sebarang pindaan kita akan bawa kepada select committee dan perbincangan libat urus supaya ia nya melibatkan soal makanan ini.
Macam saya sebut selalu, soal keterjaminan makanan dia kena buta warna. Dia sentiasa kita kena fikir soal rakyat dan soal Malaysia sebab beras ini satu perkara yang dalam saya keluar dari pejabat, tumpuan yang pertama ialah hal beras. Yang lain itu nombor dua. Sebab dengan kedudukan 53 peratus SSR ini, amat-amat tidak baiklah untuk negara. Kita mesti berada sekurang-kurang di tahap 80 peratus, baru kita berada di tahap yang boleh melegakan.
Jadi, sebarang perubahan dan sebagainya mesti kita ambil pandangan semua pihak. Sebab itu dah libat urus kita sentiasa lakukan, pada masa yang sama dengan select committee itu tentu. Termasuk jawatankuasa yang Ahli-ahli Parlimen termasuk pembangkang berada dalam jawatankuasa hal kementerian ini, kita juga akan mengambil pandangan mereka sebelum pindaan akta itu dibuat supaya ia nya dapat ada jaminan jangka panjang hal dudukkan beras ini termasuk pada masa yang sama untuk meningkatkan pengeluaran beras tempatan ini.
Datuk Seri Haji Mohamad bin Sabu
Memang ikut Dr. Zabawi, beras tempatan ini sebenarnya kadangkala dia lebih baik, lebih berkualiti daripada beras import. Tapi pemikiran rakyat kita ini kadang-kadang dia suka yang import. Padahal beras kita kadang lebih bermutu dan lebih baik. Di sudut kandungan zatnya, kanjinya, karbohidratnya dan pelbagai. Tapi bila disebut beras import, dia rasanya berkualiti. Itu mentaliti rakyat yang perlu kita ubah dari semasa ke semasa.
Terima kasih di atas pandangan Arau dan kita ambil perhatian semua pandang-pandang itu.
Dato’ Seri Dr. Shahidan bin Kassim - Arau
Harga padi.
Datuk Seri Haji Mohamad bin Sabu
Harga padi itu kita kena buat libat urus dan kaji yang lebih panjang lagi.
Tuan Haji Aminolhuda bin Hassan - Sri Gading
Beginilah kelebihan berada dalam Kamar Khas. Soalan panjang, jawapan pun panjang.
Jadi Ahli-ahli Yang Berhormat, dengan itu tamatlah sesi Kamar Khas pada hari ini. Kamar Khas hari ini ditangguhkan sehingga hari Rabu, 25 Februari 2026, jam 2.30 petang. Oh, buka puasa PMX, dijemput semua.
[Kamar Khas ditangguhkan pada pukul 3.51 petang]