Katalog Hansard
[Tuan Yang di-Pertua mempengerusikan Mesyuarat]
Setiausaha
Seorang Ahli Dewan Rakyat mengangkat sumpah. Dengan hormatnya dipersilakan 1. Yang Berhormat Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri bin Mokhtar, Ahli Parlimen Kemaman, dipersilakan.
[Ahli Yang Berhormat yang tersebut di bawah ini telah mengangkat Sumpah]
Setiausaha
: 1. Yang Berhormat Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri bin Mokhtar [Kemaman]
[Upacara Mengangkat Sumpah tamat]
Tuan Yang di-Pertua
Bismillahi Rahmani Rahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Ahli Yang Berhormat dan para hadirin, saya ucapkan tahniah kepada Yang Berhormat Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri bin Mokhtar, Ahli Yang Berhormat bagi kawasan Kemaman yang telah mengangkat sumpah sebentar tadi.
Tahniah juga kepada Yang Berhormat yang telah memenangi Pilihan Raya Kecil Kemaman Parlimen 040 pada 2 Disember 2023.
[Tepuk]
Tuan Yang di-Pertua
Parlimen ini mempunyai kedudukan tertinggi dalam membuat undang- undang negara dan berperanan sebagai semak dan imbang kepada cabang eksekutif. Justeru, peranan Dewan Rakyat sebagai medan yang mengetengahkan isu-isu rakyat dan negara hendaklah diberikan keutamaan kepada setiap masa oleh Ahli Yang Berhormat demi manfaat untuk pembangunan dan kemajuan negara.
Saya yakin Yang Berhormat dapat melaksanakan tugas yang diamanahkan sebagai wakil rakyat ini dengan berlandaskan undang-undang yang telah dibuat oleh Parlimen termasuk Perlembagaan Persekutuan. Sebentar tadi Yang Berhormat Kemaman telah bersumpah akan memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaannya.
Saya berharap Yang Berhormat Kemaman, saya dan Ahli Yang Berhormat yang lain akan turut berbuat demikian. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat dan hadirin, Perkara 63(2) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan keistimewaan kepada yang mana bahawa tiada mana-mana Ahli Parlimen boleh dikenakan apa-apa prosiding dalam mana-mana mahkamah berhubung apa-apa jua yang dikatakan oleh Ahli Parlimen semasa mengambil bahagian dalam apa- apa prosiding Majlis Parlimen atau Jawatankuasanya.
Walau bagaimanapun, keistimewaan ini adalah juga tertakluk kepada Perkara 63(4) Perlembagaan Persekutuan iaitu tidak terpakai atas mana-mana orang yang dituduh atas kesalahan di bawah undang-undang yang digubal di bawah Perkara 10(4) Perlembagaan Persekutuan atau Akta Hasutan 1948.
Ini bermaksud keistimewaan ini bukanlah mutlak. Untuk itu, saya ingin memperingatkan Ahli Yang Berhormat, agar berhati-hati bila membangkitkan isu- isu yang tidak dilindungi oleh keistimewaan ini. Saya juga menyeru Ahli-ahli Yang Berhormat agar sentiasa memberi perhatian kepada perkara-perkara yang menyumbang kepada faedah atau kebaikan untuk membangunkan negara.
Walaupun Ahli-ahli Yang Berhormat berbeza pendapat dan pandangan dalam perkara-perkara yang dibangkitkan dalam Dewan ini, akan tetapi, ia perlu disampaikan dengan bersopan dan kesusilaan seperti dituntut oleh prinsip Rukun Negara Kelima.
Kepada Yang Berhormat Kemaman, secara khususnya, saya berharap Yang Berhormat dapat mengimbangi peranan dan tanggungjawab yang diberikan di Dewan Rakyat dan di Dewan Negeri dengan sebaik-baiknya, memandangkan Yang Berhormat juga merupakan Menteri Besar Negeri Terengganu Darul Iman.
Saya yakin Yang Berhormat akan menjalankan tugas, menjalankan amanah sebagai Ahli Dewan Rakyat dengan penuh tanggungjawab.
Saya menyeru semoga Yang Berhormat dapat memberikan sumbangan yang berfaedah dan bermakna kepada Dewan ini serta seterusnya kepada rakyat dan negara. Semoga Yang Berhormat berkhidmat dengan penuh dedikasi, cemerlang. Tahniah saya ucapkan sekali lagi Yang Berhormat.
Dengan itu, saya ucapkan terima kasih dan tamatlah sudah Majlis Angkat Sumpah kita hari ini. Sekian, wabillahitaufik walhidayah, wasalamualaikum warahmatullahhi wabarakatuh dan tahniah.
[Tepuk]
[Majlis Mengangkat Sumpah tamat pada pukul 3.10 petang]