Sep052023

Katalog Hansard

Kamar Khas

[Tuan Yang di-Pertua mempengerusikan Mesyuarat]

MAJLIS ANGKAT SUMPAH

Setiausaha

Seorang Ahli Dewan Rakyat mengangkat sumpah. Dengan hormatnya dipersilakan Yang Berhormat Datuk Ahmad Amzad bin Mohamed @ Hashim, Ahli Parlimen Kuala Terengganu, dipersilakan.

12:01 PM

[Ahli Yang Berhormat yang tersebut di bawah ini telah mengangkat Sumpah]

Setiausaha

: 1. Yang Berhormat Datuk Ahmad Amzad bin Mohamed @ Hashim [Kuala Terengganu]

12:01 PM

[Upacara Mengangkat Sumpah tamat]

PEMASYHURAN TUAN YANG DI-PERTUA
MENGALU-ALUKAN PELANTIKAN SEBAGAI AHLI DEWAN RAKYAT

Tuan Yang di-Pertua

Bismillahi Rahmani Rahim, Assalamualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh. Ahli-ahli Yang Berhormat, tuan-tuan dan puan-puan, saya ingin mengucapkan tahniah kepada Yang Berhormat Datuk Haji Ahmad Amzad bin Mohamed @ Hashim, Ahli Yang Berhormat bagi kawasan Kuala Terengganu yang telah mengangkat sumpah sebentar tadi.

Saya juga mengucapkan tahniah kepada Yang Berhormat, yang telah memenangi Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu pada 12 Ogos 2023.

Saya berharap dengan selesainya Majlis Angkat Sumpah hari ini, Yang Berhormat akan mula menjalankan amanah sebagai Ahli Dewan Rakyat dengan penuh tanggungjawab, termasuk dengan mengambil bahagian di dalam Perbahasan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12, semasa Mesyuarat Khas yang akan berlangsung pada 11 hingga 19 September 2023.

Saya ingin maklumkan bahawa setakat ini, dalam Parlimen Kelima Belas, Dewan Rakyat boleh dikatakan telah menempa sejarah yang membanggakan kerana tahap akauntabiliti badan eksekutif terhadap badan perundangan yakni Dewan Rakyat, berada pada tahap tertinggi menerusi keberkesanan urusan Dewan, Kamar Khas dan Jawatankuasa-jawatankuasa Pilihan Dewan Rakyat. Ini adalah penting dalam memastikan fungsi Dewan Rakyat untuk semak dan imbang badan eksekutif dapat dilaksanakan dengan lebih efektif.

Perincian mengenai usaha-usaha meningkatkan tahap akauntabiliti badan eksekutif terhadap Dewan Rakyat pada Parlimen Yang Kelima Belas iaitu untuk urusan Dewan Rakyat, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri pada hari Selasa menjawab pertanyaan melalui Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri. Dewan Rakyat juga pada Mesyuarat Kedua yang lalu telah membahaskan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Tahun 2021 Siri 2, di mana seramai enam orang Ahli Yang Berhormat, Menteri dan Timbalan Menteri telah menjawab isu-isu perbahasan LKAN tersebut.

Di samping itu, Laporan Tahunan SUHAKAM juga telah dibahas pada Mesyuarat Kedua yang lalu, di mana 11 orang Ahli Yang Berhormat, Menteri dan Timbalan Menteri telah menjawab, berbanding pada Parlimen Keempat Belas hanya seorang Menteri sahaja yang menjawab perbahasan laporan SUHAKAM.

Berkenaan urusan Kamar Khas. Saya telah melantik Pengerusi sementara Kamar Khas dalam kalangan ahli-ahli Backbenchers atau pembangkang mengikut tempoh masa yang ditetapkan oleh saya. Dalam pada itu, setiap Ahli Yang Berhormat kini boleh mengemukakan dua usul di bawah Peraturan Mesyuarat 17 dalam sehari. Dahulunya setiap hari Yang Berhormat boleh mengemukakan satu usul sahaja.

Selain itu, bagi memperkukuhkan Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) terma rujukan (TOR) JKPK Parlimen Kelima Belas adalah lebih luas berbanding dengan TOR JKPK Parlimen Keempat Belas iaitu seperti berikut:

(i) JKPK boleh membincangkan semua perkara yang difikirkan sesuai, di bawah terma rujukan tanpa perlu dirujuk kepada Menteri; dan

(ii) terma rujukan yang lebih luas merangkumi penglibatan kesemua kementerian.

Ahli Yang Berhormat, tuan-tuan dan puan-puan, peningkatan tahap akauntabiliti badan eksekutif terhadap Dewan Rakyat perlu juga diiringi dengan kepatuhan Ahli Yang Berhormat mematuhi Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat, terutamanya dalam aspek tingkah laku Ahli Yang Berhormat.

Terdapat beberapa orang Ahli Yang Berhormat yang menunjukkan tingkah laku yang tidak terkawal, yang boleh merosakkan imej Parlimen. Saya menyeru semua Ahli Yang Berhormat dapat memberikan sumbangan yang berfaedah dan bermakna kepada Dewan ini serta seterusnya kepada rakyat dan negara.

Semoga Ahli Yang Berhormat berkhidmat dengan penuh dedikasi dan cemerlang. Tahniah saya ucapkan sekali lagi. Dengan itu tamatlah sudah Majlis Angkat Sumpah pada hari ini. Sekian, wabillahitaufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

12:01 PM

[Kamar Khas ditangguhkan pada pukul 12.10 tengah hari]

Hak Cipta Terpelihara © 2026