Katalog Hansard
[Timbalan Yang di-Pertua (Dato’ Sri Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor) **mempengerusikan Mesyuarat****]
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Sri Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Bismilllahirrahmanirrahim, Assalamualaikum dan selamat pagi Yang Berhormat- Yang Berhormat. Alhamdulillah, dengan izin Allah, kita dapat lagi bernafas di dunia ini. Dengan ini, kita mulakan Sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri. Dengan ini saya mempersilakan Tuan Suhaizan bin Kaiat, Yang Berhormat Pulai.
1. Tuan Suhaizan bin Kaiat [Pulai] Bismillahirrahmanirrahim, Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Soalan Pulai meminta Perdana Menteri menyatakan susulan pelaksanaan penghantaran pulang warga Myanmar pada 29 September 2026. Apakah langkah kerajaan seterusnya dalam menangani isu keberadaan warga Myanmar terutamanya pelarian dan pemohon suaka khususnya etnik Rohingya yang telah berlarutan sejak sekian lama dan semakin menimbulkan kebimbangan di kalangan masyarakat.
Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Sri Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Yang Berhormat Perdana Menteri, silakan.
Perdana Menteri dan Menteri Kewangan - Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Sri Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Waalaikumussalam.
Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim
Tan Sri Timbalan Yang di-Pertua, masalah ini merupakan di antara isu keselamatan juga kemanusiaan dan jumlah yang terkumpul dari Myanmar mencecah 200,000. Oleh yang demikian, harus ditangani dengan bijaksana dan hikmah. Kita bincangkan selain daripada KDN, Kementerian Luar, Jemaah Menteri dan Jawatankuasa Kabinet. Masyarakat tentunya resah kerana bila jumlah begitu besar, dia melibatkan juga soal pekerjaan, keselamatan dan juga keselesaan hidup rakyat tempatan. Jadi kita harus bertegas. Negara ini diatur mengikut hukum. Maknanya, pelarian yang tidak ikut peraturan, tidak boleh dilayan sehingga mereka rasa selesa dan kekal dalam negara kita.
Jadi kita harus ambil langkah-langkah yang munasabah, terikat dengan undang-undang antarabangsa dan juga kemanusiaan. Jadi kalau ada penderaan dan sebagainya, tentu kita tidak setuju. Baik, langkah yang dicadangkan sudah puluh tahun tidak begitu berhasil. Ada percubaan-percubaan sebelum ini menghantar pulang, tidak mungkin. Sebab itu sejak dua tahun yang lalu, saya mengambil keputusan mengadakan rundingan terus dengan pada ketika itu pimpinan millitary, tentera junta Min Aung Hlaing dan kemudiannya setelah dilantik presiden, berjumpa kali kedua. Pertama kali di Bangkok, kali keduanya di Beijing di mana kita tetapkan supaya disederhanakan tindakan kepada rakyat supaya mereka tidak dengan jumlah yang ramai, lari ke Malaysia.
Keduanya, tidak melayani secara kasar rakyat. Sebab itulah dengan persetujuan Kementerian Pertahanan ketika itu, kita hantar hospital sementara (field hospital) selepas gemba bumi dengan dua syarat. Pertama, layanan yang agak lebih munasabah kepada rakyat dan keduanya, tidak menyekat mana-mana rakyat ke hospital. Bila dua syarat itu diterima, barulah Kementerian Pertahanan menguruskan dan kita berpuas hati setelah dipantau. Menteri Luar telah mengadakan kunjungan tiga kali untuk berunding masalah-masalah ini supaya kedekatan mereka dengan ASEAN tetapi kita juga terikat dengan kerjasama ASEAN.
Setakat ini, Thailand, Cambodia, Laos, Vietnam telah pun mengundang Presiden Myanmar ke negara mereka. Saya mengambil keputusan bersama rakan- rakan mengundang untuk menyelesaikan di Parlimen, di luar Parlimen, di kalangan masyarakat antarabangsa, human right groups memang menyatakan concern tetapi penyelesaian tidak ada dan kita terbeban dengan 200,000. Maka, kerana rundingan kita dengan Myanmar, kita berhasil setakat ini telah membawa balik. Rekod terakhir adalah lebih 10,000 yang dibawa balik. Sebahagiannya atas inisiatif Kerajaan Myanmar sendiri melalui pesawat dan yang terakhir, 1,400 itu dengan kapal tentera laut Myanmar yang kita beri laluan.
Jadi, jumlah 10,000 telah dipulangkan. Dalam kunjungan Presiden Myanmar dalam beberapa hari ini ke Malaysia, tentunyalah Menteri Luar, Menteri-menteri dalam negeri dan saya sendiri akan membangkitkan isu ke arah penyelesaian.
Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim
Saya faham kegelisahan masyarakat antarabangsa termasuk hak asasi manusia dan juga teguran oleh rakan-rakan dalam Parlimen dan juga badan-badan bukan kerajaan di luar Parlimen. Tetapi syarat yang kita berikan ialah pertama, mesti bawa pulang rakyat Myanmar, yang kedua mestilah jamin layanan yang munasabah kepada rakyat sendiri seperti tidak ada penderaan, penekanan dan perlanggaran hak asasi. Dalam rundingan oleh Menteri Luar, ini jaminan yang diberikan dan rundingan dengan saya terakhir di Beijing juga diberikan. Itulah sebabnya mengapa kita cari penyelesaian.
Tuan Yang di-Pertua, kita boleh bincang masalah ini selama puluhan tahun, tetapi ini penyelesaian pertama yang kita catat dan setakat yang saya faham, Malaysia adalah negara pertama yang berjaya membawa pulang rakyat Myanmar ke negara asal mereka. Terima kasih.
[Tepuk]
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Sri Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Yang Berhormat Pulai, soalan tambahan silakan.
Tuan Suhaizan bin Kaiat - Pulai
Terima kasih atas jawapan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri. Dalam apa yang dinyatakan tadi adalah 1,400 pelarian Rohingya ataupun pelarian Myanmar ini telah dihantar pulang. Ada terdapat soalan di luar sana, apakah 1,400 ini termasuk pelarian Rohingya ataupun itu adalah warganegara Myanmar sahaja? Sebab selama ini mereka tidak mengiktiraf, tetapi tiba-tiba mereka— kalau itu adalah sebahagian Rohingya, macam mana pula tiba- tiba bila mereka boleh menerima pada waktu ini? Ini adalah isu-isu yang banyak dibangkitkan oleh rakyat.
Di Pulai sendiri, ada dua tempat Kampung Sungai Perling dan Kampung Skudai Kiri, ini tempat lebih kurang 500 warga Rohingya di situ. Dalam satu podcast yang Perdana Menteri terlibat, ada perbincangan seperti mana yang telah dinyatakan tadi, satu perundingan untuk membawa pulang warga Rohingya ini ke Myanmar.
Soalan saya di sini adalah, kalau ia nya gagal dan rakyat pula memberikan tekanan yang cukup kepada kita ini, kalau ini gagal, apa rancangan kedua untuk menyelesaikan masalah ini? Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Sri Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Silakan Perdana Menteri untuk menjawab.
Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim
Terima kasih Pulai. Pertama, saya hendak betulkan yang 1,400 yang disebut itu dengan kapal Tentera Laut baru-baru ini.
Keseluruhannya sejak bulan 1, adalah 10,000 yang telah dibawa balik. Yang lain itu, atas ikhtiar Kerajaan Myanmar sendiri melalui pesawat dan yang terakhir dengan kapal laut, Tentera Laut Myanmar.
Soal yang kedua ialah apakah etnik, kumpulan etnik. Setakat ini dalam perjanjian kita, kita kata bawa pulang rakyat Myanmar sama ada Arakan atau Karen, ataupun Shan, ataupun Rohingya. Orang yang dibawa pulang, ini satu hal yang penting juga untuk makluman Yang Berhormat, kita berikan jaminan dan hanya dengan persetujuan dia menandatangani persetujuan untuk pulang, baru kita kirim.
Kalau tidak, kita masih tidak, untuk menjamin keselesaan mereka dan hak asasi.
Jaminan hak asasi.
Jadi yang pulang itu, menandatangani persetujuan di Kementerian Dalam Negeri bahawa mereka setuju tanpa paksaan bukan under duress untuk menghantar pulang. Dalam rekod yang kita kesan setakat ini, belum ada rakyat Rohingya yang dibawa pulang, tetapi ini masih dalam perbincangan dan saya percaya Menteri Luar dan saya, tatkala bertemu dengan Presiden Min Aung Hlaing beberapa hari ini, saya akan juga bangkitkan isu ini, supaya dapat ditangani dengan sebaik mungkin. Tetapi bagi saya, mana-mana negara yang ingin bawa pulang rakyat mereka dari negara kita, itu kita alu-alukan.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Sri Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Silakan, Ketua Pembangkang.
Dato’ Seri Hamzah bin Zainudin - Larut
Terima kasih Tuan Yang di- Pertua. Terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Tambun yang telah menjelaskan tentang isu membawa pulang rakyat Myanmar yang ditahan di negara kita. Tadi semasa Yang Amat Berhormat menjawab soalan ini, Yang Amat Berhormat ada sebut belum ada tanda-tanda bahawa rakyat Myanmar Rohingya dibawa pulang.
Isu yang ada dalam negara seperti apa yang telah dijelaskan oleh Yang Amat Berhormat adalah isu di mana Rohingya ini menjadi satu masalah yang besar dalam negara kita. Punca yang sebenarnya harus dilihat secara lebih mendalam, komprehensif, sebabnya tentang kedudukan mereka rakyat Rohingya atau rakyat Myanmar Rohingya ini, mereka berada di Malaysia dengan menggunakan kad UNHCR. Ini yang menjadi masalah kepada kita. Tahniah, baru-baru ini diumumkan oleh KDN bahawa mereka akan menggunakan satu sistem DPP untuk menentukan rakyat Rohingya ini, dapat diberikan identiti.
Ini adalah menunjukkan bahawa rakyat Malaysia ini, mempunyai sifat berperikemanusiaan terhadap rakyat Rohingya, kerana kalau mereka boleh diberikan kad ini, mereka boleh bekerja. Jadi, saya hendak tanya dengan Yang Amat Berhormat, apakah sistem ini juga sudah diambil kira tentang kedudukan UNHCR yang sepatutnya tidak lagi ada di Malaysia ini? Kita tidak menandatangani konvensyen refuges, tetapi UNHCR masih di sini dan mengeluarkan kad ini. Maka, saya bertanyakan kepada kerajaan, bagaimana caranya untuk kita tidak membenarkan UNHCR untuk mengeluarkan kad?
Tetapi KDN yang mengeluarkan kad, atau Kerajaan Malaysia yang mengeluarkan kad, supaya isu ini tidak nanti disalahfaham, yang sebenarnya yang dihantar balik itu bukan Rohingya. Yang dihantar balik itu mereka yang ditahan mempunyai kesalahan-kesalahan dan memang kena bawa balik deportation yang sebenarnya. Sebab itu saya hendak penjelasan yang sebenarnya, isu sebenarnya adalah pengeluaran kad UNHCR terhadap refuges yang ada di Malaysia, Yang Amat Berhormat.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Sri Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Perdana Menteri, sila jawab.
Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim
Terima kasih Larut. Pertama, saya hendak jelaskan bahawa sebenarnya jumlah rakyat Myanmar bukan Rohingya juga besar, dia mencecah sekitar 60,000, 70,000 juga ya, Kachin, Arakan, Mon, Karen, Shan dan lain-lain etnik dan status mereka hampir sama dengan etnik Rohingya. Ini tidak kata, status ini yang berbeda dari segi sudut negara kita.
Keduanya, isu ini isu legasi, UNHCR itu dibawa, diperkenan secara rasmi oleh kerajaan pada ketika itu. Jadi, untuk meminda peraturan sepertimana yang dilakukan oleh Menteri Dalam Negeri baru-baru ini, tentu mengambil masa dan memerlukan proses rundingan dengan Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), supaya jangan nampak kita mengenepikan peraturan antarabangsa.
Tetapi saya setuju dengan Larut, bahawa sebenarnya tindakan keputusan yang tegas harus diambil kerana urusan negara kita harus oleh jentera kita sendiri, tidak diatur oleh pegawai-pegawai dari luar dan mengatur siapa yang layak, siapa yang tidak layak. Yang itu saya setuju. Tetapi yang ini, legasi isu, Yang Berhormat Larut pun tahu, masa dia Menteri Dalam Negeri, hal ini juga berlaku dan kemasukan rakyat Rohingya ini bukan juga baru, ini kes lama, kita yang tolong selesaikan.
Sekarang ini pertama kali penyelesaian dari segi penghantaran balik dan saya beritahu tadi tentang soal Rohingya, itu sudah tentu kita kemukakan dia tak ada isu. Tetapi kalau sekarang ini, dia ada 200,000, dia kata okey, dia bawa balik dahulu 10,000, saya kata bawalah yang mana dulu, kemudian dalam rundingan, sebab itu saya kata hubungan engagement, ASEAN sendiri pun walaupun ada pendirian- pendirian tertentu, saya sebut tadi empat negara telah diundang, negara-negara lain akan mengundang tetapi tidak menolak engagement, mesti sedia runding dan kita tak ambil pendekatan yang diakur oleh Amerika Syarikat atau Eropah yang keras mengenepikan tak boleh runding sama sekali dengan Myanmar.
Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim
Kita ambil pendirian secara bebas, runding untuk yang pertama menyelesaikan masalah dalam negara kita dan masalah ini kalau tidak ditangani akan merebak menjadi permasalahan keselamatan yang serius di kalangan rakyat.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Sri Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Terima kasih Yang Berhormat Perdana Menteri. Silakan Yang Berhormat Tampin.
Dato’ Mohd Isam bin Mohd Isa - Tampin
Terima kasih Dato’ Yang di- Pertua. Isu keberadaan pelarian etnik Rohingya di dalam negara bukan sahaja menyentuh aspek kemanusiaan tetapi kini menjadi isu keselamatan, ketenteraman awam yang menunjukkan sentimen keresahan dalam kalangan rakyat.
Beberapa Ahli
[Bangun]
Dato’ Mohd Isam bin Mohd Isa - Tampin
Wujud kebimbangan peningkatan penempatan haram, perniagaan tanpa lesen dan sindiket penyeludupan manusia yang mengaut keuntungan daripada krisis ini.
Soalan saya, apakah strategi penguatkuasaan bersepadu terkini antara agensi kerajaan bagi melumpuhkan sindiket penyeludupan manusia di sempadan negara? Dan, apakah tindakan tegas terhadap premis atau perniagaan haram yang dikendalikan oleh pelarian Rohingya yang menjejaskan mata pencarian peniaga tempatan? Terima kasih Dato’ Yang di-Pertua.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Sri Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Silakan Yang Berhormat Perdana Menteri untuk menjawab.
Tuan Ahmad Tarmizi bin Sulaiman - Sik
[Bangun]
Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim
Terima kasih Tampin. Nampak lain sikit tadi.
Ini benar seperti yang disebut tadi ini Ahli Yang Berhormat sebelum ini juga, Pulai, Larut dan sekarang ini Tampin bahawa ia menimbulkan masalah kerana timbul keresahan dan bantahan rakyat tempatan kerana kehidupan mereka, perniagaan mereka itu diambil alih.
Tindakan kita yang segera saya kata pertama runding, hantar balik ya. Ada kebimbangan dan malah bantahan kerana isu keselamatan mereka, kemanusiaan mereka. Tapi saya ada beritahu maksimum mungkin dalam rundingan kita tekankan dan Kerajaan Myanmar, Kementerian Luar beri jaminan kepada Menteri Luar dan Presiden Aung Hlaing beri jaminan kepada saya juga dan itu sebaik mungkin yang dapat kita lakukan untuk dalam kes penghantaran mereka pulang. Kalau tidak, tidak ada penyelesaian kita boleh marah bagaimanapun tapi tak ada penyelesaian.
Yang kedua, soal tindakan penguatkuasaan. Sekarang ini tindakan penguatkuasaan kita lihat hampir saban hari ditangkap ataupun dirampas kerana melakukan kegiatan peniagaan tanpa lesen dan tanpa kebenaran. Dia ambil alih tempat penduduk walaupun sebahagian tempat itu diberikan lesen oleh penduduk diberikan lesen.
Dato’ Sri Dr. Wee Jeck Seng - Tanjung Piai
[Bangun]
Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim
Untuk Dewan Bandaraya diberi amaran, kalau berlaku kes di mana pemegang lesen menyerahkan lesen kepada orang asing, lesen itu kena rampas. Itu sebab itu kita dapat kawal sedikit.
Tuan Mohd Sany bin Hamzan - Hulu Langat
[Bangun]
Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim
Tapi saya setuju dengan Tampin. Ini sementara mereka belum dibawa pulang ke negara asal, penguatkuasaan harus lebih tegas, terima kasih.
Tuan Ahmad Tarmizi bin Sulaiman - Sik
Tuan Speaker satu lagi soalan tambahan.
Tuan Mohd Sany bin Hamzan - Hulu Langat
Hulu Langat.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Sri Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Okey Yang Berhormat Perdana Menteri.
Tuan Ahmad Tarmizi bin Sulaiman - Sik
Boleh Sik mohon satu lagi soalan tambahan lagi?
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Sri Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Yang Berhormat Tanjung Piai dan Yang Berhormat Hulu Langat sila duduk. Berikut Majlis ke soalan yang kedua. Dipersilakan Dato’ Sri Saifuddin bin Abdullah, Yang Berhormat Indera Mahkota. Silakan.
2. Dato’ Sri Saifuddin bin Abdullah [Indera Mahkota]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Indera Mahkota minta Perdana Menteri menyatakan mengapa kes- kes yang mengancam keselamatan pelajar masih berlaku di sekolah walaupun pelbagai garis panduan dan prosedur keselamatan telah ditetapkan oleh kerajaan.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Sri Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Yang Berhormat Perdana Menteri, silakan.
Perdana Menteri dan Menteri Kewangan - Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim
Terima kasih Indera Mahkota. Hari ini tentunya memprihatinkan kerana ini melibatkan keselamatan dan nyawa anak-anak kita di sekolah. Yang terakhir tentunya kisah anak kita Irene Sofiya di Johor. Sebelum ini hebah seorang Zara di Sabah, Wan Ahmad Faris di Kelantan, Shing Xuen di Selangor, Idlan di Negeri Sembilan.
Sebab itu Kementerian Pendidikan adakan Jawatankuasa Khas Reformasi Keselamatan Institusi dengan kerjasama polis dan ibu bapa. CCTV dipasang. Tapi dalam kes terakhir CCTV dipasang— tak mungkin dipasang keseluruhan sekolah.
Jadi, kejadian berlaku di tempat yang tidak dapat dirakam CCTV.
Walau bagaimanapun, saya ucap tahniah kerana pihak PDRM telah mengambil tindakan tegas. Ada yang ditangkap dan soal pendakwaan tunggu keputusan Jabatan Peguam Negara. Saya setuju dalam kes-kes seperti ini apa jua pun alasan, tindakan harus cepat dan tegas. Tapi kita sebenarnya bicara mengenai sekolah yang begitu banyak dan bilangan sekolah rendah dan menengah mencecah ribuan tengok— angka ya.
Sekolah 10,259, murid 5,133,158, 428,379 guru. Apakah langkah yang munasabah kita lakukan? Ya, tindakan harus tegas, kesedaran guru, anak-anak kita harus ditingkatkan. Kita membesar. Ada kes-kes ini berlaku dulu zaman kita tapi saya pengalaman saya tak pernah dengar kes separah sekarang.
Kes yang baru ini berlaku walaupun belum sempat terjun, di marah oleh ibu bapa, pergi ke sekolah bapa nak semak keputusan di sekolah terus dia nak terjun.
Jadi, didikan asas agama, akhlak, kecintaan kepada ibu bapa, hormat pada guru- guru harus kita tingkatkan dan saya setuju.
Tapi sekarang langkah diambil oleh kementerian ini ya sebab pemantauan asrama, audit keselamatan, kapasiti penyeliaan murid, kaunseling dan mental isu, inisiatif kesejahteraan itu semua telah dilakukan. Apakah mencukupi? Saya fikir belum.
Saya percaya Indera Mahkota juga tahu berdasarkan pengalaman beliau di Kementerian Pendidikan tentang hal yang begitu mencabar. Apakah langkah- langkah yang lain perlu diambil? Saya setuju harus diambil tetapi kalau berlaku adil yang sepatutnya dia harus melibatkan semua. Mengapa harus ada ibu bapa yang hampir tidak ambil tahu langsung kebajikan anak-anak mereka, sekolah tidak segera melaporkan.
Kementerian Pendidikan apa yang perlu diambil tindakan segera sekarang ini garis panduan sudah lakukan tapi dia tidak— Saya tidak percaya kes ini boleh selesai tanpa kesedaran dan penglibatan semua pihak ya. Jabatan Pendidikan tentunya guru, Guru Besar atau Pengetua— di asrama sekarang sudah ada. Kalau di asrama ada kawalan yang lebih ketat.
Kemudian— tapi kesedaran ibu bapa Tuan Yang di-Pertua. Bagaimana ibu bapa sampai tidak ambil tahu sama ada anak balik atau tidak semalam? Anak sekolah rendah atau menengah rendah. Bagaimana boleh berlaku dan jadi kenyataan hampir semua yang terlibat itu semua merasa kecewa. Benar-benar rasa kecewa kerana tidak dilayan baik oleh ibu bapa. Saya tidak bermaksud nak salahkan ibu bapa tapi maknanya tanggungjawab keluarga, ini unit keluarga itu mesti menjadi asas.
Negara tertegak dengan unit keluarga yang kukuh. Jadi, dalam bidang ini bila kita lihat masalah janganlah kita hanya merasa kesal setelah ada laporan. Ini sudah saya katakan kes ini berapa kes ya. Hampir semua negeri sekarang. Kelantan, Sabah, Selangor, Negeri Sembilan, Johor. Ini yang mati, yang cedera parah, yang cuba nak bunuh diri— yang sempat diselamatkan, yang kes buli, penderaan di sekolah itu masih berlaku dan saya percaya kita harus bersama-sama ambil langkah yang perlu.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Sri Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Terima kasih Yang Amat Berhormat Perdana Menteri. Yang Berhormat Indera Mahkota soalan tambahan, silakan.
Dato’ Sri Saifuddin bin Abdullah - Indera Mahkota
Ya, terima kasih Yang Berhormat Tambun atas jawapan. Kalau Menteri Pendidikan jawab macam Yang Amat Berhormat, banyak masalah boleh selesai. Cuma, saya tak pernah di Kementerian Pendidikan, saya pernah di Kementerian Pengajian Tinggi.
Angka-angka Yang Amat Berhormat sebut itu memang merisaukan. Ada kes kematian di sekolah mungkin tiada kaitan dengan buli. Ada kes mungkin ada kaitan dengan buli. Betul, ada kes-kes kecederaan yang tidak mengakibatkan kematian.
Pokoknya dia semakin meruncing akhir-akhir ini.
Dato’ Sri Saifuddin bin Abdullah - Indera Mahkota
Jadi, mungkin nanti boleh dibekalkan data berapa sebenarnya yang meninggal dunia akibat A, akibat B dan sebagainya. Cuma saya terbaca kenyataan Ketua Polis Negara semalam mengatakan jangan sembunyikan isu keselamatan di sekolah demi jaga nama baik kerana tindakan itu menyukarkan usaha polis menangani sesuatu kejadian.
Begini Yang Amat Berhormat, Ahli-ahli Parlimen di sebelah sini dan di sebelah sana sama-sama concern dan kita bicara soal ini dan kita memberikan pandangan dalam Dewan ini juga. Kami memberikan pandangan dalam dua bentuk yang komprehensif termasuk ada dokumen berjudul Reformasi Pendidikan atau Cadangan Reformasi Pendidikan dan diserahkan kepada kedua-dua Menteri dan dibahas di sini.
Juga perkara-perkara atau cadangan spesifik sebahagiannya disebut oleh Yang Amat Berhormat. Rondaan, SOP, CCTV masalahnya ada blind spot, kawalan, sistem keluar-masuk, tambah guru kaunseling, audit keselamatan. Kami faham bahawa perkara ini susah, perkara ini bukan perkara yang mudah dan kita bukan berniat untuk menyalahkan sesiapa. Yang kami terkilan Yang Amat Berhormat ialah semacam ada kekurangan sense of urgency atau leadership. Saya tak nak sebutlah siapa, Yang Amat Berhormat pun faham. Saya dah mengimbaunya dalam fasa pertama yang saya ungkapkan tadi.
Dalam kes Zara sebagai contoh, dua minggu tiada penjelasan. Saya bangun di sini pada 30 Julai 2025, saya bertanya lapan soalan, Menteri bertanggungjawab di depan saya. Soalan saya itu bukan semua berkaitan dengan polis, tiga daripadanya bab sekolah. Satu pun dia tak jawab. Ya, isu buli semasa perbahasan RMK13 lebih 10 orang MP berbahas dari sana dan di sini, mungkin 15 orang. Ketika penggulungan tak jawab.
Kes Sofea, saya minta Menteri buat keterangan Menteri di Dewan Rakyat semalam. Mujurlah Yang Amat Berhormat datang menjawab, jadi adalah sedikit maklumat yang dapat kami terima. Kami tahu pegawai-pegawai, guru-guru bekerja keras dan kami sangat berterima kasih tetapi soal sense of urgency, leadership itu pada kami sangat mustahak.
Kami bukan mahu membalun, kami mahu membantu. Yang kami harapkan ialah Yang Amat Berhormat pantau hal ini sebab yang kami dapat, saya nak beritahu Yang Amat Berhormat. Yang kami dapat ialah ungkapan, jangan ganggu kami, jangan usik sekolah kami, jangan usik guru kami. Come on, terima kasih. [Dewan riuh]
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Sri Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, silakan.
Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim
Terima kasih, Tuan Yang di-Pertua. Saya tahu jiwa dia sebagai pendidik masih kekal, saya kenal lama. Jadi, saya tidak pertikai hasrat Yang Berhormat dan keprihatinan Yang Berhormat.
Cuma langkah-langkah yang diambil itu ada cuma mungkin tidak dijelaskan sepenuhnya. Umpamanya di sekolah sejak dihebahkan dahulu, CCTV dipasang dan RM3 juta sekolah, RM5 juta di sekolah asrama penuh dan tahun depan kita tambah lagi RM15 juta untuk 1,000 sekolah untuk guru bimbingan dan kaunseling baru.
Masa kita di sekolah itu tak bangkit hal ini tetapi sekarang 5,107 jawatan guru bimbingan dan kaunseling kita tambah kerana nak selesaikan masalah ini.
Pembantu warden asrama, 300 MyStep telah dilantik. PDRM masuk dan diberi izin untuk masuk ke sekolah bila-bila masa secara rasmi lah dengan pakaian seragam.
Kemahiran dan sokongan psikologi psikososial 400 warden diberi latihan ya, setakat ini.
Yang keenam, kuasa kepada pengetua, guru besar, Jawatankuasa Disiplin lebih berat. Beza juga daripada generasi kita dulu kalau kena pukul, kalau balik rumah beritahu ibu bapa, ibu bapa pukul lagi. Kalau sekarang kalau kena jentik sedikit, disaman. Jadi ada juga beberapa permasalahan kesedaran keluarga dan rakyat ini.
Ketujuh, kuasa disiplin boleh diturunkan kepada guru. Kelapan, sistem disiplin murid ditambah baik. Kesembilan, advokasi suara murid, kita dengar masalah murid. Yang kesepuluh, polisi perlindungan murid sekolah dan sebelas, saringan minda sihat yang saya kata mental issues yang dibangkitkan.
Jadi dari segi urgency ada. Mungkin tidak dijelaskan dengan begitu baik.
Mungkin kita akan baiki tetapi saya mohon maaf saya belum lihat Kertas Reformasi Pendidikan. Itu memang dekat dengan jiwa saya dan saya akan minta khas Kertas Reformasi Pendidikan yang dibentangkan oleh pihak pembangkang khususnya Yang Berhormat Indera Mahkota. Kerana isu buli dan dera ini saya dalam beberapa ucapan di sekolah itu saya keras sekali dan masalah ada kadang-kadang dilindungi, kadang dia tak mahu imej sekolah itu buruk. Jadi, nak jaga prestasi sekolah. Jadi, bagi laporan yang baik padahal anak-anak di sekolah itu merasa terdera, tertekan masuk ke sekolah.
Jadi, saya setuju dan apa yang digesa oleh pihak PDRM, jangan sembunyikan. Kita sembunyikan nak jaga imej sekolah, ini rosak anak ini kita tak fikir.
Jadi, pendekatan tak betul. Jadi, saya akhirnya saya menyebutkan bahawa urgency harus ada. Ada kelemahan awal tatkala kita tangani kes Zara dahulu, itu semua diakui. Tetapi kita harus belajar dari kelemahan itu dan perbaiki, perketatkan peraturan tetapi akhir walaupun ada beberapa yang disebut tadi, akhirnya kesedaran rakyat, ibu bapa kita lah dan keluarga.
Saya, anak-anak berpesan, dengar juga pandangan daripada cucu-cucu dan masalah-masalah yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat itu memang relevan bagi semua kita. Mudah-mudahan kita dapat selamatkan negara kita daripada kes-kes yang sangat menyentuh perasaan kita. Terima kasih, Yang Berhormat.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Sri Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Terima kasih Yang Amat Berhormat. Dipersilakan, Yang Berhormat Sri Gading.
Tuan Haji Aminolhuda bin Hassan - Sri Gading
Terima kasih, Dato' Speaker. Kalau kita mengimbau zaman-zaman dulu lah Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, kisah kalau mak ayah kita hantar ke sekolah mak ayah akan sebut kepada guru. Saya hantar anak saya untuk belajar, patah tak apa tapi jangan mati dan zaman Parlimen jugalah daripada sekolah yang namanya Kementerian Pelajaran dipindahkan kepada Kementerian Pendidikan, yang membawa maksud di sekolah itu adalah unsur-unsur pendidikan membentuk generasi rakyat Malaysia kepada yang lebih baik.
Apa yang penting kepada kita hari ini, apabila berlaku kes-kes umpama ini.
Ramai yang di kalangan rakyat negara kita menyalahkan banyak pihak. Ada yang menyalahkan pihak sekolah, ada yang menyalahkan kementerian dan masing- masing bergaduh dalam WhatsApp yang berkenaan.
Persoalan daripada Sri Gading, pertama sekali apabila melihat kejadian seumpama ini, saya sebagai peranan pernah menjadi guru selama 30 tahun. Apabila kita melihat kalangan pelajar-pelajar yang bermasalah, pertama tadi jawapan daripada Yang Amat Berhormat CCTV kurang tetapi kita sedia maklum bahawa kes- kes yang berlaku ini kadang-kadang di luar daripada waktu pembelajaran. Contoh yang kes yang terbaru di Ayer Hitam berlaku pada hari Sabtu bukan hari bekerja, ada tuisyen dan di sinilah sebenarnya kelompangan-kelompangan penjagaan dari segi keselamatan kepada murid.
Sebab itu, adakah tuisyen yang menyebabkan mengejar pencapaian sesuatu pembelajaran ataupun keputusan itu menjadi matlamat utama menyebabkan guru terbeban dengan nak kejarkan pencapaian, mereka terpaksa mengadakan tuisyen dan itu juga harapan ibu bapa dan inilah yang sebenarnya kadang-kadang terbeban kepada guru. Apa yang penting kepada kami sebagai Ahli Parlimen pada hari ini, kita ingin dapat penjelasan daripada Perdana Menteri sendiri.
Tuan Haji Aminolhuda bin Hassan - Sri Gading
Adakah peraturan rotan itu telah dimansuhkan sebab ini ramai yang berkata sedemikian rupa, satu.
Yang kedua, bagaimanakah apabila peringkat ibu bapa dalam persatuan PIBG, adakah penglibatan ibu bapa dalam sesuatu mesyuarat agung khususnya, dapat memastikan kehadiran ibu bapa untuk hadir dan mendengar sendiri segala perkara yang berlaku di sekolah supaya apa tindakan-tindakan ketegasan guru, kadang-kadang ketegasan guru ini menyebabkan ibu bapa tak puas hati, menyebabkan guru-guru ada yang disaman oleh ibu bapa. Sedangkan ketegasan guru tadi, pertama untuk mendidik, yang kedua untuk memastikan pencapaian pelajar itu sendiri berjaya dengan cemerlang.
Jadi, apakah harapan Perdana Menteri selaku Perdana Menterilah, nak melihat rakyat kita ini yang berada di sekolah ini, cikgunya diberikan peluang yang baik, pada waktu yang sama tidak menyalahkan juga kepada pihak sekolah berkenaan. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Sri Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Silakan Yang Amat Berhormat.
Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim
Terima kasih Yang Berhormat...
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Sri Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Saya ingin mengingatkan Ahli-ahli Yang Berhormat yang lain itu, adab ada. Saya bagi ruang, don’t go overboard. Saya perhati, saya perlu halau Yang Berhormat keluar, saya akan halau. Silakan Yang Berhormat.
Tuan Syed Saddiq bin Syed Abdul Rahman - Muar
[Bangun]
Tuan Afnan Hamimi bin Dato’ Haji Taib Azamudden - Alor Setar
[Bangun]
Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong - Ayer Hitam
[Bangun]
Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Tuan Yang di-Pertua sebut adab betul. Dalam bidang pendidikan, kita popularkan moto, menggapai yang di langit, mengakar di bumi. Mengakar di bumi, tentunya permasalahan adab dan di antara hadis Nabi Muhammad SAW yang kita jadikan teras dalam sistem pendidikan kita adalah...
[Membaca sepotong hadis] Jadi pendidikan, ilmu, pencerahan tidak boleh terlepas daripada soal akhlak, soal adab.
Tapi ini satu ujian besar kepada kita. Apakah tidak ada perubahan? Ada, umpamanya tahun ini ketimbang tahun-tahun sebelumnya dari segi laporan kes salah laku buli umpamanya, dari Januari sampai Ogos 2026, itu 5,681 yang dilapor.
Tentunya lebih besar kalau kita tak lapor. Ini maknanya buli fizikal, buli lisan, buli bukan lisan, buli siber dan kita patut tingkatkan lagi kefahaman masyarakat dan ibu bapa supaya dapat mengekang perubahan ini.
Apakah peranan PIBG. Tentunya peranan ibu bapa selain daripada guru dan sekolah kerana banyak juga kejadian yang dilapor berlaku selepas waktu persekolahan. Jadi, tanggungjawab sekolah dan ibu bapa. PIBG, banyak PIBG yang bergerak tapi kalau kita lihat banyak PIBG itu penyertaan ibu bapa itu agak terbatas sekali. Sebab itu sekarang kita usulkan beberapa pembahagian bantuan itu yang selalu diluluskan langsung kepada melalui akaun bank, kita minta diluluskan kepada ibu bapa di sekolah. Sekurang-kurangnya mewajibkan ibu bapa datang ke sekolah dan di situ ada engagement dengan guru-guru dan guru, cikgu juga, setahu, saya pun guru. Jadi, kalau panggil saya guru, saya bangga.
Beberapa Ahli
[Ketawa]
Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim
Terima kasih.
[Ketawa]
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Sri Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Terima kasih Yang Amat Berhormat. Selanjut saya persilakan Yang Berhormat Alor Setar.
Tuan Afnan Hamimi bin Dato’ Haji Taib Azamudden - Alor Setar
Terima kasih Dato' Speaker. Terima kasih Yang Amat Berhormat Perdana Menteri. Isu kes- kes di sekolah ini saya bersetuju dengan apa Yang Amat Berhormat sebut, keluarga juga memainkan peranan. Isu Yang Amat Berhormat, kita ada tiga pihak. Satu sekolah, yang kedua rumah, Yang Amat Berhormat sebut tadi, yang ketiga di jalanan itu. So, ada tiga ekosistem ini. Di sekolah tak apalah dia dah buat CCTV, dah buat pelan apa yang telah dibentang oleh Yang Amat Berhormat, okey selesai. Yang itu kita tengok progress dia. Tapi isunya ialah macam mana kita nak mencegah daripada pelajar kita ini melakukan ataupun ada niat melakukan jenayah.
Contoh Yang Amat Berhormat, bila daripada rumah dia nak pi sekolah dia singgah kedai dia beli vape. Kemudian on the way itu dia tengok dia punya phone, dia main game. Dalam game kita ini ada game yang ganas, yang membunuh orang, yang benda-benda yang merosakkan Yang Berhormat. Dia tidak membina.
Jadi adakah Yang Amat Berhormat bercadang ataupun bersetuju supaya tindakan ini lebih bersepadu melibatkan merentasi kementerian, semua aspek-aspek yang nak mendorong orang untuk melakukan jenayah terutamanya pelajar ini dicegah daripada awal. Bukan setakat kita merekod perbuatan jenayah, bahkan sebelum daripada itu lagi kita dah cuba mencegah daripada awal ataupun Yang Amat Berhormat selalu sebut sebelum ini karamah insaniah. Saya masih ingat lagi istilah Yang Amat Berhormat selalu guna sebelum ini.
Dan soalan yang kedua, yang terakhir Dato' Speaker ialah apakah kerajaan bersedia untuk mula mengkaji semula pelaksanaan syariat Islam dalam hukuman?
Dalam kes yang ada sekarang, kalau pelajar itu bawah 18 tahun, dia dimasukkan kes juvana. Tapi dalam Islam, orang itu dah akil baligh, dia dah dikira dewasa dan dihukum sepertimana hukuman orang dewasa. Mungkin pelaksanaan syariat ini mungkin akan lebih menggerunkan orang untuk melakukan sesuatu jenayah.
Adakah kerajaan bersedia untuk mula mengkaji dari sudut aspek-aspek ini? Terima kasih Dato' Speaker. Terima kasih Yang Amat Berhormat.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Sri Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Silakan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri.
Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim
Terima kasih Alor Setar. Lama Alor Setar tak tanya saya.
Tuan Syed Saddiq bin Syed Abdul Rahman - Muar
[Bangun]
Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim
Saya setuju gesaan pertama, memperinci aspek pelaksanaan lebih bersepadu. Sekolah ada percubaan sekarang yang lebih kemas dan berkesan. Rumah tentunya melalui pendidikan, penjelasan dan saya rasa kalau harapan saya, kalau dalam media, kenyataan Ahli-ahli Yang Berhormat itu menggesa ibu bapa itu lebih bertanggungjawab kerana semua kajian menunjukkan ibu bapa bukan saja di desa, terutama di bandar, di kalangan yang miskin bandar.
Kadang kesibukan mereka, tekanan hidup mereka, kemiskinan dan sebagainya kadang-kadang langsung tidak diambil peduli.
Ketiga tentang di jalanan, di luar. Soal vape dan pelbagai bentuk jenis dadah, diambil tindakan, penyeludupan. Saya setuju tindakan itu harus diambil semua oleh semua pihak termasuk penguatkuasaan. Penyeludupan elemen-elemen dadah, pengedaran pada kanak-kanak itu masih berleluasa walaupun tindakan badan penguatkuasaan itu ditingkatkan. Tetapi kita berdepan dengan permasalahan yang sangat rumit dan insya-Allah daripada penguatkuasaan akan membuat suatu yang lebih baik.
Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie bin Apdal - Semporna
[Bangun]
Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim
Pelaksanaan syariat Islam, ada cadangan pindaan baru-baru ini dalam Majlis Perundingan Islam yang dipengerusikan oleh Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Perak. Ada beberapa usul untuk memperkasa mahkamah syariah yang kita telah luluskan prinsipnya dan kini dirujuk semula kepada Majlis Raja-Raja yang akan bersidang insya-Allah beberapa minggu lagi.
Tetapi saya terima kasih Yang Berhormat Alor Setar kerana isu ini sebenarnya tak boleh ambil ringan. Dia macam tiap keluarga, kita ada anak atau macam saya cucu, keluarga dan anak sekolah dan Yang Berhormat tahu benar masalah ini. Jadi, saya tidak fikir ini yang dijawab ini penyelesaian, belum, belum, sehingga kita dapat lebih daripada penguatkuasaan tadi, kesedaran yang menyeluruh daripada ibu bapa yang mendidik, tanggungjawab kita. Kita bicara soal Islam, soal akhlak, soal falsafah pendidikan, soal latihan guru, soal ramainya ustaz- ustaz, kelas-kelas agama dan solat berjemaah tapi masih belum menyelesaikan isu ini secara menyeluruh. Terima kasih.
Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong - Ayer Hitam
Dato' Speaker. Bagi peluang boleh? Sebab kes Irene Sofiya berlaku di kawasan saya. Soalan tambahan pada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Sri Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Yang Berhormat Ayer Hitam, kalau ikut naluri saya, dalam keadaan Dewan yang sempurna tidak ada kecoh-kecoh, saya nak bagi ruang tapi masalahnya urusan Dewan banyak.
Jadi, saya terpaksa tangguhkanlah ya. Minta maaflah.
Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie bin Apdal - Semporna
Tak ada ruang. Tak ada ruang nak tanya.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Sri Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Dengan suci hati.
Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie bin Apdal - Semporna
Tak ada ruang nak tanya.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato' Sri Dr. Ramli bin Dato' Mohd Nor
Yang Berhormat-Yang Berhormat, sekarang tamatlah sesi untuk Waktu Pertanyaan- pertanyaan Menteri.
[Sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri tamat]
Timbalan Yang di-Pertua - Dato' Sri Dr. Ramli bin Dato' Mohd Nor
Majlis ke sesi ke Aturan Mesyuarat selanjutnya iaitu Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan. Untuk soalan yang pertama, saya mempersilakan Datuk Seri Takiyuddin bin Hassan, Yang Berhormat Kota Bharu.
Datuk Seri Takiyuddin bin Hassan - Kota Bharu
Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua. Soalan saya nombor 1. Terima kasih.
1. Datuk Seri Takiyuddin bin Hassan [Kota Bharu] minta Menteri Dalam Negeri menyatakan, status terkini pelaksanaan tujuh belas syor penambahbaikan bagi memperkukuh kawalan keselamatan, saringan serta pengurusan risiko di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan pintu masuk antarabangsa negara susulan beberapa insiden yang menimbulkan kebimbangan terhadap integriti kawalan keselamatan negara.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato' Sri Dr. Ramli bin Dato' Mohd Nor
Dipersilakan Menteri Dalam Negeri untuk menjawab.
Menteri Dalam Negeri - Datuk Seri Saifuddin Nasution bin Ismail
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Speaker, terima kasih rakan saya dari Kota Bharu. Ekoran tragedi tertangkapnya seorang co-pilot Malaysia Airlines di Jakarta dengan dibawa dadah, maka Jemaah Menteri segera mengarahkan tindakan serta-merta diambil untuk mencadangkan beberapa langkah yang perlu diambil bagi menguruskan perkara ini.
Jemaah Menteri berpendapat, ini bukan soal bolos biasa, dia terkait soal ancaman terhadap keselamatan, kedaulatan, reputasi dan nama baik negara.
Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Pengangkutan diamanahkan. Ada 17 syor dan kita bahagi kepada tiga fasa. Untuk jawapan hari ini, saya tumpukan kepada yang jangka pendek, di antara sekarang bermula Ogos sampai enam bulan ke hadapan.
Yang pertama, kita laksanakan segera saringan bersasar berasaskan risiko.
Maksudnya, destinasi penerbangan yang berisiko tinggi, berasaskan pada data dan kes sama ada dilapor atau tidak dilapor. Destinasi yang sering kali berlaku insiden penyeludupan seperti di Indonesia dan beberapa destinasi lain yang kita klasifikasikan sebagai berisiko tinggi. Sekarang ini outbound-nya dari KLIA, kita lakukan saringan fizikal pat-down, head-to-toe terhadap orang dan juga pemeriksaan bagasi 100 peratus, itu yang pertama.
Yang kedua, kad akses. Di KLIA ini ada yang dikeluarkan oleh Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan. Dia keluarkan akses kad ini untuk tempoh sah laku lima tahun yang dipanggil e-Vetting. Yang ini sekarang kita syorkan dipendek kepada dua tahun sahaja. Kemudian tertakluk untuk diperbaharui.
Yang kedua, MAHB dan juga CAAM – Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia. Yang ini dia keluarkan pas harian. So, kawalan akses yang membolehkan orang masuk ke terminal ini, ini kita anggap sebagai perkara yang dalam kawalan kita dan kita boleh buat serta-merta, kita perketatkan.
Yang ketiga, bagi kakitangan penerbangan, juruterbang, kru kabin ataupun kakitangan pengendali darat. Sekarang ini sudah pun kita lakukan saringan dadah personel. Maksudnya, kita lakukan seawal pra pengambilan. Katakanlah syarikat penerbangan kita hendak ambil juruterbang. Setelah dia buat saringan, nak mengesahkan dapat tak dapat, dia kena semak dengan pihak polis untuk kita sahkan. Sama ada dia punya rekod ataupun tidak. Kemudian, termasuklah kita akan buat pemeriksaan berkala dan secara rawak.
Yang ini CAAM ataupun Pihak Berkuasa Penerbangan Awam sekarang berganding bahu dengan Polis Diraja Malaysia dan AADK.
Yang keempat, omnipresent. Kita kerahkan Batalion 19 Pasukan Gerak Am Briged Tengah. Sekarang ini kawalan mulai hari kejadian sampai sekarang, omnipresent mereka ini di semua terminal kita lengkap dengan bersenjata.
Seterusnya kita selaraskan risikan. Di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Bharu, polis ada risikan, AKPS ada risikan, kastam ada risikan, bahkan MAQIS, PERHILITAN, semua ini ada risikan. Sekarang, kita selaraskan perkongsian maklumat risikan setelah kita klasifikasikan dari segi magnitud ancaman dan modus operandi.
Hal yang saya sebut ini semuanya diselaras di bawah Jawatankuasa Teknikal bersama KDN dan MOT yang dipengerusikan di peringkat KSU secara berkala. Di sana ada fasa dua dan fasa tiga, tetapi untuk peringkat ini, kerana— terima kasih Kota Bharu atas perhatinan mahu tahu apakah status terkini. So, saya berkongsi dahulu status mulai sekarang sehingga enam bulan ke hadapan sebelum kita melangkah ke fasa dua. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato' Sri Dr. Ramli bin Dato' Mohd Nor
Silakan Yang Berhormat Kota Bharu, soalan tambahan.
Datuk Seri Takiyuddin bin Hassan - Kota Bharu
Terima kasih Dato’ Yang di-Pertua, terima kasih sahabat saya Yang Berhormat Menteri.
Saya agak berpuas hati dengan jawapan yang telah diberikan. Cuma, saya ada dua persoalan di sini Yang Berhormat. Kita tahu bahawa di bawah Jabatan Imigresen Malaysia atau JIM ada satu pusat pemantauan penyelarasan dan kawalan bersepadu untuk mengawasi operasi imigresen ini yang dipanggil National Immigration Command Centre (NICC).
Soalan saya, sejauh manakah NICC ini boleh berfungsi untuk memberikan maklumat keselamatan dan risikan supaya langkah pencegahan boleh diambil lebih awal oleh pihak berkuasa?
Dan yang kedua, saya juga ingin mendapat maklumat mengenai satu ancaman yang saya rasa lebih serius, yang berlaku di dalam isu kawalan keselamatan terutamanya di sempadan ini iaitu ancaman sabotaj dalaman.
Saya ingin tahu secara berfakta daripada Yang Berhormat. Pada akhir bulan Julai dan awal bulan Ogos tahun 2026, dalam satu Ops Crack oleh SPRM, seramai 11 orang pegawai imigresen termasuk pakar IT imigresen, pengarah syarikat swasta, beberapa orang warga asing dan seorang pegawai polis didapati melakukan amalan menggodam sistem imigresen MyIMMS sehingga berjaya mengeluarkan 1,306 Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) dengan menggunakan peranti dongle dan sebagainya.
Saya hendak tahu, apakah tindakan yang telah diambil oleh pihak kementerian terhadap ancaman sabotaj dalaman ini yang cukup mengancam keselamatan negara kita. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato' Sri Dr. Ramli bin Dato' Mohd Nor
Silakan Yang Berhormat Menteri.
Datuk Seri Saifuddin Nasution bin Ismail
Terima kasih Kota Bharu.
Bahagian pertama. Benar, Jabatan Imigresen di bawah kawalannya adalah pusat kawalan iaitu fokus Jabatan Imigresen ini adalah bagi pemeriksaan kaunter, masuk atau keluar. Di mana dipasang CCTV. Di situlah menjadi sumber maklumat yang diawasi oleh imigresen. Dia setakat itu.
Di sana, kawalan yang lebih lengkap adalah di bawah Malaysia Airport Berhad. Dia ada lebih daripada 5,000 CCTV di KLIA1 dan KLIA2. Jadi Malaysia Airport Berhad ini dia ada bilik kawalan dia sendiri, tetapi perlu diingat, Malaysia Airport Berhad ini dia punya interest adalah passengers ataupun penumpang. Jadi, weightage keselamatan itu masih belum sepenuhnya di bawah kawalan dia.
Sebab itu sekarang, oleh kerana AKPS agensi baharu yang bertanggungjawab tentang kawalan sempadan, sekarang perbincangan sudah pun saya mulakan dengan Malaysia Airport Berhad supaya akses kawalan terhadap bilik kawalan yang sumber maklumat daripada CCTV yang 5,000 itu membolehkan bukan sahaja MAB yang mengawalnya, tetapi juga AKPS diberikan autoriti. Jadi, AKPS akan melihat dari sudut pandang keselamatan. Ini sudah pun disetujui. Cuma sekarang di peringkat administrasi untuk membolehkannya untuk beroperasi.
Fasa dua nanti, AKPS akan juga melengkapkan CCTV, tambahan kepada 5,000 yang sekarang ini dimiliki oleh Malaysia Airport Berhad. Jadi, dekat mana AKPS akan tambah? Di kawasan yang kita mark sebagai berlaku blind spot.
Jadi, Bilik Kawalan Imigresen terhad kepada proses melepasi kawalan pemeriksaan masuk dan keluar, tetapi yang lebih lengkap sebenarnya di bawah Malaysia Airport Holding Berhad yang sekarang ini aksesnya akan juga disetujui supaya AKPS boleh ada autoriti.
Baik. Bahagian kedua yang kes spesifik Yang Berhormat maksud ianya bermula kerana perisikan dalam sendiri oleh Imigresen. Oleh sebab risikan itu menunjukkan tanda-tanda ada elemen rasuah, maka maklumat risikan diserahkan kepada SPRM. Lalu operasi SPRM lah kemudian membawa kepada ditangkap kalangan Yang Berhormat sebut tadi, itu benar.
Datuk Seri Saifuddin Nasution bin Ismail
Sebab itu penting untuk penyelarasan dari sudut maklumat risikan. Bukan hanya kita bergerak dalam petak kita sahaja, yang sekarang kita berikan tumpuan khusus adalah harus ada perkongsian kalau ianya kita nilai sebagai mengancam.
Bukan sahaja soal keselamatan tetapi juga soal integriti seperti Yang Berhormat sebutkan.
Oleh sebab ianya serius, membabitkan sistem MyIMMs di bawah Bahagian Teknologi Maklumat Jabatan Imigresen. Kerana itu, kita bertindak beberapa langkah ke depan kerana menjangkakan bahawa sistem yang baik pada ketika itu, tapi dia sudah beroperasi tiga dekad.
MyIMMs ini sudah pun diguna pakai oleh Imigresen hampir 30 tahun. Kerana itu, sekarang sudah pun kita lengkapkan perolehan dan kita gantikan dengan sistem MyNIISe — National Integrated Immigration System kita yang sekarang ini dalam fasa peralihan MyIMMs kepada MyNIISe dan insya-Allah, kalau semua berjalan ikut jadual, quarter one tahun depan, itu roll out. Itu akan menyaksikan sistem kita akan dinaik taraf dan mengatasi bahawa kelemahan dari sudut sistem lama, kemudian dari sudut sistem infra yang usang, rekod penyelenggaraan yang juga bermasalah, sehinggalah kepada manusia bermasalah, personelnya itu...
Tuan Afnan Hamimi bin Dato’ Haji Taib Azamudden - Alor Setar
[Bangun]
Datuk Seri Saifuddin Nasution bin Ismail
Jadi, kesemuanya itu kita ambil kira dan sekarang kita ke arah penambahbaikan secara agresif dan robust. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Sri Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Sebelah kanan— tidak ada? Silakan Yang Berhormat Alor Setar.
Tuan Afnan Hamimi bin Dato’ Haji Taib Azamudden - Alor Setar
Terima kasih Dato’ Speaker, saya pun tengok tak ada yang bangun, saya nak ambil kesempatan bertanya Yang Berhormat Menteri.
Insiden yang terbaru Ketua Pengarah AKPS, kita tak berhasrat nak campur siasatan, tetapi isunya adalah Yang Berhormat, macam mana video CCTV dalaman itu boleh dibocorkan keluar? Jadi, kalaulah dalam sistem keselamatan KLIA itu sendiri ada yang membocorkan maklumat, video itu dikeluarkan, apatah lagi barang- barang terlarang itu.
Jadi, mohon jaminan Yang Berhormat Menteri Dalam Negeri supaya hal-hal begini tidak lagi berulang. Kalau kita sendiri tak boleh kawal sistem keselamatan lapangan terbang kita, macam mana agensi-agensi nak buat kerja dengan telus dan cepat? Minta jaminan kepada Yang Berhormat Menteri. Terima kasih Dato’ Speaker.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Sri Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Silakan Yang Berhormat Menteri.
Datuk Seri Saifuddin Nasution bin Ismail
Terima kasih Alor Setar. Seperti yang Alor Setar sebut tadi bahawa siasatan kerana ada aduan terhadap insiden tempoh hari. Hari ini Jabatan Siasatan Jenayah akan menyerahkan laporan awal kepada Jabatan Peguam Negara. Daripada situ nanti, Jabatan Peguam Negara akan menentukan sama ada dia berpuas hati kertas siasatan itu dah lengkap. Tuan Speaker tahu sebagai bekas polis, atau besar kemungkinan Peguam Negara akan mengarahkan lagi diambil langkah-langkah bagi memastikan kertas itu betul-betul meyakinkan atau punya asas kes yang cukup.
Saya setuju, saya tak ada perbezaan pendapat soal pandangan yang diberikan oleh Alor Setar bahawa bagaimana mungkin sejurus selepas insiden itu, kemudian tersebar dengan meluas video. Sebab setelah disebutkan Kota Bharu tadi, kalaulah puncanya adalah 5,000 CCTV, bermaksud ia nya di bawah kawalan Malaysia Airport Holding Berhad.
Apakah kebocoran bermula di situ atau membawa kepada secondary recording dan sebagainya? Itu juga aspek yang sekarang ini menjadi fokus jawatankuasa siasatan terhadap kes itu. Maksudnya, ketika predikat dan hala tuju siasatan mereka letakkan sebagai landasan kepada hala tuju siasatan, elemen kebocoran punca sebaran video itu juga adalah dalam senarai semak, selain daripada rakaman percakapan dan bukti-bukti yang lain. Itu dalam tindakan pihak polis. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Sri Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Terima kasih Yang Berhormat Menteri. Majlis ke soalan yang berikut. Dipersilakan Dato Ir. Haji Yusuf bin Haji Abd Wahab, Yang Berhormat Tanjong Manis.
Dato Ir. Haji Yusuf bin Haji Abd Wahab - Tanjong Manis
Terima kasih Dato’ Sri Timbalan Speaker. Soalan saya nombor 2.
2. Dato Ir. Haji Yusuf bin Haji Abd. Wahab [Tanjong Manis] minta Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam menyatakan, apakah langkah-langkah yang telah diambil oleh kementerian dalam menghadapi masalah jerebu rentas sempadan, terutama sekali yang melanda Sarawak. Apakah tindakan diplomatik atau undang- undang yang telah diambil oleh kementerian untuk mengatasi masalah jerebu yang berlanjutan ini.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Sri Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Dipersilakan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam untuk menjawab.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam - Dato’ Sri Arthur Joseph Kurup
Selamat pagi, salam sejahtera. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Saya ingin memohon izin untuk menjawab soalan ini bersekali dengan soalan nombor 22 daripada YB Balik Pulau dan juga soalan nombor 29 daripada YB Sibu kerana dia adalah mengenai isu yang sama.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Sri Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Diluluskan.
Dato’ Sri Arthur Joseph Kurup
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Untuk makluman Ahli-ahli dalam Dewan yang mulia ini, dalam usaha menangani isu jerebu rentas sempadan yang turut memberi kesan kepada negara, khususnya Sarawak, berikutan episod kebakaran hutan dan tanah di Kalimantan, Indonesia.
Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam atau pun NRES telah memperkukuh langkah-langkah bersepadu di peringkat domestik, di samping mempertingkatkan kerjasama dua hala dengan Indonesia serta memanfaatkan mekanisme ASEAN bagi memperkukuh usaha pencegahan, pemantauan dan pengurusan jerebu rentas sempadan.
Dari aspek pencegahan dan penguatkuasaan secara domestik, Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan telah diaktifkan sejak 15 Februari 2026.
Bagi tempoh 3 Ogos hingga 29 September 2026, Jabatan Alam Sekitar ataupun JAS telah menerima sebanyak 1,447 aduan pembakaran terbuka dan melaksanakan 2,132 tindakan susulan, termasuk 41 notis arahan, 27 kompaun dan 3 tindakan mahkamah.
Selain itu, sebanyak 14 kejadian kebakaran berskala besar di Sarawak dan Johor juga telah berjaya dipadamkan sepenuhnya melalui tindakan agensi-agensi yang berkaitan.
Bagi isu jerebu di Sarawak, langkah pemantauan kualiti udara dan pengurusan jerebu turut dipertingkatkan, termasuk pelaksanaan operasi pembenihan awan atau pun OPA pada hingga 7 September 2026. Secara keseluruhannya, sebanyak 55 siri OPA telah dilaksanakan di seluruh negara sejak bulan Februari tahun ini.
Dari aspek diplomatik pula, saya telah mengutuskan surat kepada Sekretariat ASEAN bagi menyeru semua negara di selatan, Rantau ASEAN untuk mempergiat usaha dan melaksanakan persediaan yang berterusan dalam menghadapi fenomena El Nino yang kuat serta mencegah jerebu merentas sempadan.
Selain itu, saya telah mengadakan rundingan secara langsung dengan Menteri Lingkungan Hidup Indonesia melalui panggilan telefon pada 24 Ogos 2026 bagi mempercepatkan usaha pemadaman kebakaran di kawasan yang terjejas.
Susulan itu, Malaysia telah mengemukakan tawaran bantuan rasmi pada 9 September 2026 yang merangkumi operasi pemadaman dari udara melalui water bombing, sokongan pesawat amfibi dan juga OPA. Hasil usaha diplomatik tersebut, Kerajaan Indonesia telah bersetuju menerima tawaran bantuan Malaysia pada 18 September 2026. Semasa pertemuan Yang Amat Berhormat Timbalan Perdana Menteri dengan Presiden Indonesia, penyelarasan penghantaran bantuan kini sedang dilaksanakan oleh kedua-dua negara melalui Kementerian Luar Negeri.
Dari aspek perundangan dan kerjasama serantau, Malaysia telah menggunakan mekanisme ASEAN dan hubungan dua hala secara aktif bagi memastikan tindakan pencegahan serta pemadaman kebakaran di punca dapat dilaksanakan dengan segera.
Pada Julai yang lalu, saya telah menghadiri mesyuarat ke-27, Sub-Regional Ministerial Steering Committee atau pun MSC mengenai pencemaran jerebu merentas sempadan. Mesyuarat tersebut telah menyeru supaya negara MSC terus memperkukuh langkah pencegahan, pemantauan, kesiapsiagaan dan tindak balas terhadap kebakaran serta jerebu merentas sempadan.
Malaysia juga telah membentangkan cadangan diplomasi sains dan dana jerebu mampat sebagai langkah untuk memperkukuh pelaksanaan Perjanjian ASEAN Mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan ataupun ASEAN Agreement on Transboundary Haze Pollution ataupun AATHP.
Bagi sasaran jangka panjang, Malaysia kekal komited untuk mendukung visi ASEAN bebas jerebu menjelang 2030 di bawah Second ASEAN Haze Free Roadmap 2023 ke 2030.
Dato’ Sri Arthur Joseph Kurup
Keberkesanan tindakan khususnya di Sarawak akan terus dinilai melalui petunjuk yang boleh diukur, antaranya trend bilangan dan intensiti titik panas di Kalimantan dan Sarawak, bilangan hari bacaan IPU berada pada tahap tidak sihat serta kekerapan tempoh episod jerebu.
Usaha ini juga turut disokong oleh keupayaan ramalan awal daripada MET Malaysia melalui Fire Danger Rating System ataupun FDRS dan Malaysia Community Multiscale Air Quality Model ataupun myCMAQ bagi memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi risiko kebakaran dan jerebu.
Sebagai kesimpulan, NRES terus komited untuk mempergiat pemantauan kualiti udara dan penguatkuasaan terhadap pembakaran terbuka serta memperkukuh kerjasama dengan Indonesia dan juga ASEAN bagi menangani jerebu rentas sempadan secara bersepadu demi melindungi kesejahteraan rakyat. Sekian dan terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Sri Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Terima kasih Menteri. Selanjut dipersilakan Yang Berhormat Tanjong Manis. Soalan tambahan.
Dato Ir. Haji Yusuf bin Haji Abd Wahab - Tanjong Manis
Terima kasih Dato’ Sri Timbalan Speaker. Terima kasih Yang Berhormat Menteri di atas jawapan yang panjang lebar dan sangat lengkap tadi sehinggakan saya pun tak ada— tak tahu nak tanya soalan tambahan. Untuk makluman, masalah jerebu ini berulang- ulang setiap tahun.
Langkah-langkah yang disebutkan oleh Yang Berhormat Menteri tadi mungkin untuk tahun ini, tahun depan datang balik. Ada masanya sederhana, ada masanya teruk. Sebagai contoh yang terjadi pada bulan Ogos yang lepas, sehinggakan beberapa acara rasmi kerajaan terpaksa dibatalkan di Sarawak ataupun ditangguhkan. Dan satu daerah di Sarawak telah diisytiharkan darurat oleh Yang di-Pertuan Agong. Ia banyak mengganggu perancangan aktiviti harian penduduk dan yang penting sekali ia mengancam kesihatan penduduk.
Soalan tambahan saya kalau belum dijawab oleh Yang Berhormat Menteri tadi, selain usaha diplomatik dan kerjasama dua hala dengan Indonesia, apakah inisiatif baharu yang akan dibawa oleh Malaysia di peringkat ASEAN bagi memperkukuh tindakan serantau dalam menangani isu jerebu rentas sempadan secara lebih berkesan dan lebih berterusan? Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Sri Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Menteri, sila jawab.
Dato’ Sri Arthur Joseph Kurup
Terima kasih Ahli Yang Berhormat.
Sepertimana yang disebutkan sebentar tadi, saya telah hadir kepada mesyuarat MSC yang ke-27 dan kita telah buat dua pembentangan.
Yang pertama, adalah berkaitan diplomasi sains iaitu untuk memperluaskan penggunaan data teknologi dan bukti saintifik dalam pembangunan dasar serta proses membuat keputusan ASEAN berkaitan pencegahan, pemantauan dan pengurusan jerebu supaya kajian ini boleh dibuat secara jangka masa panjang.
Yang kedua, kita juga telah membentangkan dana jerebu mampan bagi mewujudkan sumber pembiayaan yang lebih mampan dan berterusan untuk menyokong usaha pencegahan kebakaran serta pengurusan jerebu di peringkat serantau. Kedua-dua cadangan tersebut sekarang sedang diteliti oleh sekretariat ASEAN dan Malaysia akan meneruskan lagi perbincangan ini semasa mesyuarat ke- 21 Committee Conference of The Parties to the AATHP yang dijadualkan berlangsung di Vietnam pada bulan Disember tahun ini.
Pada tahun hadapan, Malaysia akan menjadi pengerusi dan tuan rumah untuk mesyuarat ke-28 MSC. Jadi selaras dengan peranan yang penting ini, Malaysia akan memanfaatkan platform untuk memperkukuh semangat kebersamaan dan kebertanggungjawaban bersama dalam kalangan negara anggota ASEAN dalam menangani isu jerebu rentas sempadan.
Pendekatan kita adalah jelas bahawa isu jerebu rentas sempadan perlu ditangani melalui tindakan yang kolektif dan kerjasama serantau yang lebih erat.
Bukan sekadar menuding jari atau menyalahkan mana-mana pihak. Apa yang lebih penting ialah setiap negara anggota melaksanakan tanggungjawab masing-masing dan bersama-sama memperkukuh langkah pencegahan kesiapsiagaan serta tindakan awal.
Tuan Riduan bin Rubin - Tenom
[Bangun]
Dato’ Sri Arthur Joseph Kurup
Ini termasuk mempertingkatkan perkongsian data dan maklumat. Memperkukuh pelaksanaan undang-undang di negara domestik serta meningkatkan kerjasama penguatkuasaan antara negara anggota ASEAN. Dan pendekatan ini adalah penting bagi memastikan komitmen di bawah AATHP diterjemahkan kepada tindakan yang nyata, konsisten dan berkesan di lapangan untuk mengurangkan risiko berulangnya jerebu rentas sempadan.
Sekian dan terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Sri Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Terima kasih Menteri. Silakan Yang Berhormat Kubang Kerian.
Dato’ Sri Tuan Ibrahim bin Tuan Man - Kubang Kerian
Terima kasih Tan Sri Speaker. Saya nak refer pada apa yang dibangkitkan tadi tentang ASEAN Haze- Free Roadmap 2023–2030. Sebelum ini kita tahu bahawa ASEAN dah ada satu roadmap dan ini merupakan yang kedua.
Jadi persoalan saya ialah, apakah perbezaan di antara roadmap pertama, yang kedua dan untuk mengatasi beberapa kelemahan yang berlaku. Sebab apa yang dibangkitkan tadi ialah benda ini akan terus berulang. Saya fikir persoalan saya ialah, apakah perbezaan yang agak ketara dalam roadmap yang kedua ini bagi memastikan isu jerebu dapat diatasi?
Yang keduanya, baru-baru ini kalau tengok kerajaan telah pun melaksanakan 15 kali apa yang dipanggil tentang untuk mencegah jerebu ini dengan menggunakan sistem water bomb ini. Persoalan saya ialah sejauh mana keberkesanan program ini?
Dan yang ketiga, ialah tentang dana yang dibangkitkan tadi. Dana jerebu mampan tadi. Apakah dia satu penyelesaian yang mewajibkan anggota ASEAN dan berapa jumlah dana yang disasarkan? Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Sri Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Silakan Menteri untuk menjawab.
Dato’ Sri Arthur Joseph Kurup
Terima kasih Yang Berhormat Kubang Kerian. Banyak soalan walaupun dalam ayat yang sangat padat.
Yang pertama, second ASEAN Haze-Free Roadmap 2023–2030 mempunyai satu prinsip yang baru iaitu prinsip polluter pays. Walau bagaimanapun, kita ambil maklum bahawa AATHP pada masa ini merupakan perjanjian yang berteraskan kerjasama dan tidak memperuntukkan mekanisme khusus bagi tuntutan ganti rugi antara negara. Maka dengan itu, keutamaan kita pada masa ini adalah untuk memperkukuh keberkesanan AATHP melalui kerjasama diplomatik, perkongsian maklumat dan tindakan bersama bagi menangani kebakaran di punca kejadian.
Sasaran ASEAN bebas jerebu menjelang 2030. Ini merupakan visi bersama daripada semua negara-negara anggota di bawah second ASEAN Haze-Free Roadmap 2023–2030 yang mempunyai petunjuk keberkesanan bagi menilai kemajuan pelaksanaannya. Antara petunjuk yang ditetapkan ialah pengurangan bilangan titik panas dan keluasan kawasan terbakar, pengurangan hari pada ASEAN Alert Level 2 dan 3 serta sasaran tiada hari pada Alert Level 3 selama dua tahun berturut-turut.
Soalan berkaitan dengan dana jerebu mampan ini kita baru sahaja mencadangkan dalam mesyuarat yang lalu dan saya harap ini kita boleh menyusul apabila kita hadir dalam mesyuarat yang akan berlangsung di Vietnam pada bulan 12 tahun ini. Sekian dan terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Sri Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Terima kasih. Yang Berhormat Tenom duduk. Saya hanya bagi dua soalan. Berikut saya ke soalan, pengerusi ke soalan yang ketiga. Dipersilakan Dato’ Haji Adnan bin Abu Hassan, Yang Berhormat Kuala Pilah.
Dato’ Haji Adnan bin Haji Abu Hassan - Kuala Pilah
Terima kasih Yang Berhormat Timbalan Speaker. Soalan Kuala Pilah di nombor 3.
3. Dato' Haji Adnan bin Haji Abu Hassan [Kuala Pilah] minta Menteri Kesihatan menyatakan, indikator keberkesanan rawatan kesihatan mental di fasiliti kerajaan serta mekanisme kementerian menilai keberhasilan rawatan dan kadar pesakit yang kembali mendapatkan rawatan.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Sri Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Menteri Kesihatan, silakan untuk menjawab.
Menteri Kesihatan - Datuk Seri Haji Dr. Dzulkefly bin Ahmad
Terima kasih Dato’ Yang di-Pertua. Terima kasih sahabat saya, Yang Berhormat Kuala Pilah.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam sejahtera, salam Malaysia MADANI. Soalan ini mengizinkan saya untuk membuat penjelasan tentang hal kesihatan dan cabaran mental, Dato’ Yang di-Pertua.
Kesihatan mental adalah satu keadaan di mana seseorang individu boleh menangani stres kehidupan, menyedari potensi diri, boleh belajar, bekerja dengan baik dan menyumbang kepada masyarakat. Setiap dari kita mempunyai kesihatan mental, Dato’ Yang di-Pertua.
Adapun setiap individu juga pada waktu yang sama terdedah kepada cabaran-cabaran kesihatan mental sama ada faktornya sama ada stres, keresahan, anxiety dengan izin, kemurungan yang boleh dicetus oleh pelbagai faktor seperti kewangan, tragedi kehidupan dan masalah rumah tangga, faktor penderaan, buli, keganasan dan sebagainya.
Ini berbeza dengan penyakit mental yang melibatkan gangguan kepada fungsi otak dan menyebabkan seseorang itu mengalami gangguan ketara dalam pemikiran, perasaan, tingkah laku dan tidak berupaya menghadapi cabaran hidup ya, pemikiran, perasaan, tingkah laku dan tidak berupaya menghadapi cabaran hidup.
Menteri Kesihatan - Datuk Seri Haji Dr. Dzulkefly bin Ahmad
Jadi, kita bezakan ada dua aspek di sini gangguan mental biasa. Gangguan yang saya sebutkan tadi anxiety, kemurungan, gangguan keresahan dan juga yang kedua adalah penyakit mental yang teruk yakni severe mental illnesses yang terkait dengan hal penyakit-penyakit yang lebih— seperti contohnya skizofrenia, kecelaruan bipolar dan sebagainya.
Tuan Yang di-Pertua, adapun dari sudut amalan dan practice of Kementerian Kesihatan, Kementerian Kesihatan mengukur kadar keberhasilan rawatan kesihatan mental melalui penilaian terhadap kadar kemasukan semula pesakit psikiatri di hospital-hospital kami ya atau dipanggil sebagai dengan izin, readmission kerana pesakit yang menerima rawatan psikiatri berkualiti tinggi tidak sepatutnya kembali for readmission dalam tempoh tiga bulan Dato’ Yang di-Pertua ya.
Maka, KKM telah menetapkan KPI kadar kemasukan semula pesakit dalam tempoh tiga bulan perlulah kurang atau kita letakkan KPI kurang drpd 25 peratus bermula tahun 2025 Yang Berhormat Kuala Pilah ya. Pencapaian hospital-hospital kami dalam hal memenuhi KPI ini di peringkat nasional pada tahun 2025 adalah pada paras 6.32 peratus. Kita meletakkan 25 tapi kita achieved, kita mencapai 6.32 peratus Dato’ Yang di-Pertua ya. Dan rawatan kesihatan mental bukan hanya bertujuan mengurangkan gejala penyakit, tetapi not at the acute phase dengan izin, tetapi juga membantu pesakit kembali menjalani kehidupan harian bersama keluarga dan kembali bekerja jika sudah sampai waktu yang sesuainya.
Jadi, melalui MENTARI yakni Pusat Kesihatan Mental Masyarakat KKM, pesakit diberikan sokongan seperti pemulihan, sokongan psikososial dan juga bantuan untuk kembali bekerja dan berdikari. Kita punya kurang lebih 39 pusat MENTARI di seluruh negara Dato’ Yang di-Pertua ya.
Dan akhir sekali kalau boleh saya sebutkan, KKM menetapkan supaya sekurang-kurangnya 60 peratus pesakit yang mengikuti program sokongan pekerjaan dapat kekal bekerja di pasaran terbuka pasaran kerja ya. Dan pencapaian nasional adalah seperti berikut. Tahun 2023, 72 peratus, kita melebihi 60 peratus itu dan seterusnya meningkat 2024, 72.8; 25, 75 peratus; dan mutakhir adalah 76 peratus sehingga Jun 2026. Tuan Yang di-Pertua, terima kasih. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Sri Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Terima kasih Yang Berhormat. Yang Berhormat Kuala Pilah, soalan tambahan.
Silakan.
Dato’ Adnan bin Abu Hassan - Kuala Pilah
Yang Berhormat Menteri, memandangkan beberapa negara maju telah membenarkan penggunaan kanabis secara terkawal bagi tujuan perubatan dan terdapat kajian mengenai potensinya dalam rawatan keadaan kesihatan mental tertentu, apakah pendirian kementerian terhadap perkara ini dan adakah kementerian sedang menilai bukti klinikal, keberkesanan serta risiko penggunaannya sebagai pilihan rawatan tambahan bagi pesakit yang tidak memberikan respons mencukupi terhadap rawatan konvensional.
Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Sri Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Silakan, Menteri.
Datuk Seri Haji Dr. Dzulkefly bin Ahmad
Terima kasih Dato’ Yang di- Pertua. Terima kasih Kuala Pilah soalan tambahan itu.
Saya ringkaskan begini Dato’ Yang di-Pertua. Dari sudut kawalan kanabis ya, yang kita tahu adalah tertakluk kepada Akta Dadah Berbahaya— Dangerous Drug Act (DDA), Akta Racun (Poison Act) dan Akta Jualan Dadah ataupun Sales of Drug Act (SODA) 1952 juga ya yang mana kita telah sedia membenarkan keluaran yang mengandungi ekstrak kanabis untuk diimport, dijual, dibekal atau digunakan bagi tujuan perubatan, penyelidikan (research) ataupun percubaan klinikal (clinical research) bagi tujuan perubatan tertakluk kepada pematuhan keperluan undang- undang tersebut Dato' Yang di-Pertua.
Jadi sikap kami, kita izinkan clinical research dan sebagainya. Bahkan, pernah saya tidak silap saya, satu preparation cannabis yang bernama Sativex ia pernah diberikan pendaftaran oleh NPRA. Jadi, dari sudut sikap dan dari sudut polisi memang kita punya satu polisi untuk mengizinkan research, clinical research sebab kita mengambil sikap bahawa andainya evidence-based Dato’ Yang di-Pertua, kita akan mengizinkan. Bahkan kita telah pun mendaftarkan satu drug namanya Sativex.
Adapun dari sudut apa yang berlaku di Thailand Dato’ Yang di-Pertua, yang mengizin— yang decriminalized ekstrak kanabis ini dan diletakkannya outside di apa yang dikatakan sebagai psychotropic drugs dan berakhir dengan kemudaratan kepada seluruh negara itu mereka kembali untuk criminalize it Dato’ Yang di-Pertua.
Jadi, kita tidak akan mengambil sikap mudah-mudah to decriminalize kanabis sebab kita tahu menolak kemudaratan itu adalah lebih penting daripada mengambil kemaslahatan sepertimana maqasid syariah, sepertimana qawa’id syariah. [Berucap dalam bahasa Arab] Itu adalah bagaimana saya mengukur setiap polisi-polisi supaya ia tidak akhirnya memudaratkan rakyat dan masyarakat sementara mungkin ada kebaikannya. Jadi, dalam hal inilah kita izinkan clinical research itu Dato’ Yang di- Pertua. Terima kasih Kuala Pilah.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Sri Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Sebelah kiri saya persilakan Yang Berhormat Kuala Langat.
Dato’ Dr. Ahmad Yunus bin Hairi - Kuala Langat
Terima kasih Tuan Speaker. Persoalan tambahan saya adalah berkaitan dengan kesihatan mental, bukan penyakit mental.
Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Kebangsaan turut memberikan penekanan dalam aspek pencegahan dan intervensi awal kesihatan mental. Selepas berakhirnya Pelan Strategik Kesihatan Mental 2020-2025, apakah kerangka baharu kementerian untuk mengukur keberkesanan pencegahan dan intervensi awal supaya masalah kesihatan mental dapat ditangani sebelum berkembang ke tahap yang lebih serius ataupun krisis.
Dan apakah mungkin ada pendekatan ataupun intervensi yang lebih baik daripada kementerian, kepada Kementerian Pendidikan ataupun sekolah-sekolah di negara kita ini supaya literasi berkaitan dengan kesihatan mental itu sampai kepada guru-guru? Bukan hanya sekadar lawatan pasukan kesihatan ke sekolah ataupun counsel, counsel yang kita ada, tetapi kepada keseluruhan guru-guru kita di dalam negara kita ini untuk dapat mengenal pasti tingkah laku awal kesihatan mental ini di kalangan pelajar-pelajar kita sebelum ia menjadi satu krisis jenayah buli dan jenayah seperti yang ada berlaku pada hari ini, termasuklah kalau di kawasan saya di Banting, seorang pelajar yang autisme menikam sehingga 14 kali tikaman kepada rakan sekolahnya di Sekolah Menengah Kebangsaan Banting. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Sri Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Sebentar Menteri. Yang Berhormat Libaran, boleh saya bantu?
Datuk Suhaimi bin Nasir - Libaran
Nak mencelah. Ada soalan.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Sri Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Ada apa-apa yang boleh saya bantu Yang Berhormat?
Datuk Suhaimi bin Nasir - Libaran
Nak— mahu mengutarakan soalan.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Sri Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Ya?
Datuk Suhaimi bin Nasir - Libaran
Soalan. Soalan tambahan.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Sri Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Yang Berhormat, untuk soalan jawapan lisan saya hanya membenarkan dua soalan.
Datuk Suhaimi bin Nasir - Libaran
Satu, dua sahaja.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Sri Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Jadi, selesai sini saya akan bagi belah kiri. Jadi, yang ini selepas ini saya akan pergi ke soalan yang keempat. Jadi, Yang Berhormat Menteri sila jawab. Yang Berhormat Libaran, duduk.
Datuk Suhaimi bin Nasir - Libaran
Terima kasih Yang Berhormat.
[Ketawa]
Datuk Seri Haji Dr. Dzulkefly bin Ahmad
Terima kasih Dato’ Yang di- Pertua. Ya, saya memahami semangat Yang Berhormat Libaran itu.
Dato' Yang di-Pertua, menjawab soalan Kuala Langat Dato’ Yang di-Pertua ya. Ya, antara perkara yang pertama sekembali saya mengemudi KKM Dato’ Yang di-Pertua adalah untuk menubuhkan sebuah dengan istilahnya National Centre of Excellent for Mental Challenge. Pusat kecemerlangan yang telah kita tubuhkan dan juga kita telah formalkan adalah Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental ataupun NCEMH namanya, National Centre of Excellent for Mental Health yang mana kita untuk menjawab soalan sahabat saya Kuala Langat ya. Kita tahu bahawa keperluan ini ataupun tuntutan ini bukan hanya boleh berakhir dengan kami walaupun banyak perkara-perkara yang inisiatif yang telah kami lakukan.
Jadi, pertama yang saya nak sebutkan Dato’ Yang di-Pertua adalah yang menyangkut tentang hal kecelikan ataupun literasi ya, yang mana KKM bersama dengan KPM memberi penekanan kepada peningkatan literasi ataupun kecelikan kesihatan mental dalam kalangan— mental dalam kalangan murid melalui pendekatan promosi, pencegahan, pengesanan dan intervensi awal seperti mana yang diminta sebentar tadi, Kuala Langat ya.
Dan antara inisiatif utama kami― the second time I’m here mengemudi KKM, kita telah mulakan yang awal, tapi ini adalah kita katakan program Minda Sihat Sekolah, memberi sekolah itu satu program yang lama di mana promosi kesihatan mental dari sudut pencegahan masalah kalangan mental di kalangan murid. Dan juga itu satu yang kita memberikan penekanan kepada literasi murid-murid, memberikan pendedahan mengenai kepentingan kesihatan mental dan tanda-tanda awal masalah kesihatan mental dan kaedah mengurus tekanan atau stress management itu.
Melaksanakan saringan kesihatan mental yang membantu pengesanan awal murid yang mempunyai risiko masalah kesihatan mental, dikesani awal, the earliest onset of symptom itu kita dah nip it in the bud dengan izin, mengambil tindakan segera. Murid yang dikenal pasti berisiko melalui saringan akan diberikan intervensi awal oleh guru bimbingan dan kaunseling mengikut tahap keperluan. Manakala, murid yang memerlukan penilaian atau rawatan lanjut pula akan dirujuk terus kepada fasiliti kami Dato’ Yang di-Pertua.
Dan mewujudkan persekitaran sekolah yang kondusif yang hari ni kita telah dengar bagaimana Yang Amat Berhormat Perdana Menteri menyebutkan akan kepentingan kerjasama dan urgency method ini untuk ditangani.
Datuk Seri Haji Dr. Dzulkefly bin Ahmad
Mewujudkan persekitaran sekolah yang kondusif, selamat dan menyokong kesejahteraan mental dan memperkukuhkan peranan antara lainnya PRS ini sudah sedia maklum semuanya. Nah, pada masa kini 10,259 sekolah melaksanakan Program Minda Sihat sekolah ini. Ia melibatkan 7,773 sekolah rendah dan 2,486 sekolah menengah seluruh negara.
[Timbalan Yang di-Pertua (Puan Alice Lau Kiong Yieng) **mempengerusikan Mesyuarat****] Ya selain itu, nak saya sebutkan, KKM turut bekerjasama dengan KPM dalam memperkukuhkan kapasiti bakal guru melalui pelaksanaan latihan Modul Helping Adolescents Thrive (HAT), Helping Adolescents Thrive membantu ya golongan remaja untuk terus mampu dan sihat aspek mentalnya.
Di Institut-institut Pendidikan Guru (IPG) dan latihan-latihan Modul HAT ini bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan, kemahiran bakal guru their skill set dalam menyokong ya kesihatan mental ini...
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Ringkaskan jawapan.
Datuk Seri Haji Dr. Dzulkefly bin Ahmad
Dan kesejahteraan ya. Dan remaja serta memperkukuh daya tahan atau resilient pelajar Datuk Yang di-Pertua.
Jadi itu yang nak saya sebutkan. KKM dan KPM akan terus memperkukuh pendekatan whole of school melibatkan murid, guru, kaunselor, ibu bapa dan rakan sebaya dalam mewujudkan persekitaran pendidikan yang menyokong kesejahteraan mental murid melalui pengukuhan sistem rujukan murid yang dikenal pasti mempunyai masalah kesihatan awal, bagi memastikan akses capaian kepada sokongan untuk menjaga kesihatan mental serta mendapatkan bantuan pada peringkat awal adalah dapat dilakukan dan yang diperlukan. Terima kasih Datuk Yang di-Pertua.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Saya jemput Dato’ Azman bin Nasrudin, Padang Serai.
Dato’ Azman bin Nasrudin - Padang Serai
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Padang Serai mohon jawapan nombor 4.
4. Dato' Azman bin Nasrudin [Padang Serai] minta Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam menyatakan, sama ada bilangan pegawai serta kakitangan Pejabat PERHILITAN negeri dan daerah mencukupi buat masa ini bagi menangani serta menghadapi peningkatan kes gangguan haiwan liar seperti gajah dan monyet.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Silakan Yang Berhormat Timbalan Menteri.
Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam - Tuan Syed Ibrahim bin Syed Noh
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Terima kasih kepada Padang Serai atas soalan. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam Malaysia MADANI, salam sejahtera.
Tuan Yang di-Pertua, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) menerusi PERHILITAN mengambil perhatian serius untuk apa-apa berhubung dengan keperluan perjawatan kakitangan Jabatan PERHILITAN supaya kita dapat menangani konflik hidupan liar seperti gajah dan kera yang semakin meningkat, termasuk di negeri Kedah.
Buat makluman Yang Berhormat, pada masa ini bilangan perjawatan Jabatan PERHILITAN Negeri Kedah sedia ada ialah sebanyak 85 perjawatan dengan pengisian sebanyak 78 iaitu 82 peratus. Walaupun tidak menerima pengisian jawatan penuh, Jabatan PERHILITAN komited untuk menangani aduan konflik yang diterima di negeri Kedah dari tahun 2020 hingga 2025 sebanyak 6,538 aduan diterima termasuk bagi spesies gajah dan kera.
Berdasarkan rekod semakan perjawatan terakhir yang telah dilaksanakan ialah pada tahun 2018— lapan tahun yang lepas namun, tidak melibatkan pertambahan perjawatan baharu. Memang ada semakan dilakukan, tetapi tidak melibatkan pertambahan perjawatan baru.
Untuk makluman YB sekalian, apakah antara kerja PERHILITAN ini? Antara kerja utama dia ialah untuk melihat dari segi konservasi hidupan liar, untuk melihat konflik, menangani konflik hidupan liar dan juga untuk penguatkuasaan. Jadi, berdasarkan kepada itu, kalau kita lihat memang agak luas tugas dan jawatan mereka dan kita harap supaya perkara ini dapat dipertimbangkan untuk adanya pertambahan jawatan.
Sebagai contoh, bagi kawasan Padang Serai, pengurusan konflik hidupan liar dan penguatkuasaan dilaksanakan oleh tujuh orang kakitangan yang ditempatkan di Pejabat PERHILITAN Daerah Baling yang turut bertanggungjawab untuk menyelia kawasan Baling, Kulim dan Bandar Baharu. So insya-Allah, kita sedang memuktamadkan pengukuhan dan pertambahan jawatan di semua negeri serta daerah di seluruh negara termasuk negeri Kedah dan Daerah Baling untuk memastikan semua tugasan pengurusan konflik hidupan liar dilaksanakan dengan lebih berkesan.
Cadangan pengukuhan dan pertambahan jawatan keseluruhan turut merangkumi cadangan perwujudan Pejabat PERHILITAN Daerah Kulim yang dijangka dapat meningkatkan kecekapan pengurusan konflik hidupan liar dan tindakan penguatkuasaan di kawasan yang terjejas. Cadangan pengukuhan perjawatan ini akan diangkat untuk pertimbangan Jabatan Perkhidmatan Awam kelak. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Padang Serai.
Dato’ Azman bin Nasrudin - Padang Serai
Terima kasih Yang Berhormat Menteri atas jawapan. Berkenaan dengan konflik hidupan liar ini, jadi saya hendak bertanya kepada pihak kementerianlah sebab ia melibatkan komuniti. Jadi, apakah bentuk kerjasama dan insentif yang disediakan oleh kementerian kepada komuniti setempat serta pemilik ladang untuk melaksanakan langkah pencegahan bersama seperti Pasukan Tindakan Komuniti?
Dan sejauh manakah pendekatan pengurusan konflik haiwan liar berasaskan komuniti ini terbukti mengurangkan kerugian harta benda dan hasil pertanian. Sebab kita nak harapkan pertambahan jawatan kemungkinan benda itu lambat ataupun sukar untuk dilaksanakan pada ketika ini, tetapi apakah kerjasama dengan komuniti itu dan bagaimanakah keberkesanannya kepada masyarakat. Terima kasih.
Tuan Syed Ibrahim bin Syed Noh
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, terima kasih Yang Berhormat Padang Serai atas soalan tambahan tadi iaitu yang berkenaan dengan kerjasama dan insentif bersama-sama dengan komuniti setempat.
Dato Ir. Haji Yusuf bin Haji Abd Wahab - Tanjong Manis
[Bangun]
Tuan Syed Ibrahim bin Syed Noh
Ada pun perkara ini memang juga termasuk dalam rancangan keseluruhan dari segi kita untuk mengawal hidupan liar dan juga untuk menguruskan konflik. Jadi, antara perkara-perkara yang dilaksanakan ialah untuk melaksanakan program-program kesedaran. Kesedaran awam ini melibatkan kesedaran bersama dengan komuniti setempat. Namun secara umumnya, kesedaran sahaja tidak memadai.
Jadi, apa yang disebutkan oleh Yang Berhormat tadi benar. Kita perlu mewujudkan dan telah pun mewujudkan kerjasama dengan komuniti setempat melalui beberapa program-program yang terkini yang saya boleh sebutkan di sini ialah satu Program Komuniti Perlindungan Haiwan yang telah pun diwujudkan sebagai— mungkin sebagai perintis di Kluang. Komuniti pengurusan perlindungan hidupan liar ini bermakna ada satu pemerkasaan ataupun pengupayaan yang diberi kepada pihak komuniti untuk membantu.
Cumanya dari segi cara keberkesanan itu, kita kena lihatlah dengan lebih mendalam kerana perkara begini memerlukan lebih banyak pemantauan, pengawasan, tapi apa juga sebenarnya saranan ataupun cadangan daripada Yang Berhormat untuk kita menangani konflik ini sangat-sangat dialukan. Kita memerlukan kerjasama yang erat dan rapat supaya kita dapat menanganinya.
Antara perkara juga yang bakal dilakukan insya-Allah ialah, untuk kita juga memberikan insentif kepada pihak luar daripada PERHILITAN khususnya, untuk kera supaya mereka ini membuat tangkapan dan diberikan insentif berdasarkan kepada jumlah tangkapan. Perkara ini dalam perancangan sekarang ini, tapi insya- Allah itu bakal dilakukan, saya rasa itu boleh membantu untuk mengurangkan konflik dan juga bilangan kera yang mengganggu. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Tanjong Manis.
Dato Ir. Haji Yusuf bin Haji Abd Wahab - Tanjong Manis
Terima kasih Timbalan Speaker. Hidupan liar yang ada konflik dengan manusia bukan sekadar gajah dan monyet. Di Sarawak tak ada gajah, tetapi di Sarawak banyak buaya.
Bukan buaya darat, buaya air. Soalannya, apakah langkah-langkah yang mungkin difikirkan perlu oleh kementerian yang boleh mengurangkan konflik antara manusia dengan buaya seperti yang sering terjadi di Sarawak di mana setiap tahun, ramai orang dibaham buaya. Apakah nasihat, apakah pandangan daripada kementerian mengenai perkara ini. Terima kasih.
Tuan Syed Ibrahim bin Syed Noh
Terima kasih Yang Berhormat Tanjong Manis. Tuan Yang di-Pertua, sebenarnya Tanjong Manis memang ada berbisik dekat saya beberapa kali bertanya tentang bagaimanakah dengan keadaan buaya. Setakat ini kita tidak ada satu konflik yang besar, yang meluas sepertimana konflik harimau, gajah ataupun monyet lah, tetapi saya faham apa yang dimaksudkan oleh Yang Berhormat tersebut bahawa kita juga harus faham tentang keadaan dan konflik yang mungkin berlaku akibat daripada buaya.
Justeru, perkara pertama yang perlu difahami selalunya dalam mana-mana konflik ini ialah untuk memahami tabiat dan juga habitat haiwan. Sepertimana juga dengan kera, begitu juga dengan gajah. Serupa juga saya percaya saya bukan pakar buaya tapi...
[Ketawa] Dia mungkin juga perlu untuk memahami, apakah tabiat dan habitat buaya berkenaan. So, mungkin dalam keadaan pada masa depan kita perlu adakan kajian yang lebih mendalam.
Di samping kita juga ada cadangan untuk mewujudkan sepertimana yang disebut pada Yang Berhormat Tanjong Manis sebelum ini untuk adanya santuari. Ya, santuari buaya di mana dia ada dalam satu habitat yang terkawal dan mungkin dengan cara itu boleh mengurangkan ataupun menangani apa juga bakal konflik yang berlaku.
Tuan Syed Ibrahim bin Syed Noh
Apa pun insya-Allah, kita juga memang ada apa disebut sebagai bantuan- bantuan ini. Saya rasa yang ini pun dalam pengetahuan banyak di kalangan Ahli Yang Berhormat. Cuma saya maklumkan— ambil kesempatan maklumkan di sini Yang di-Pertua. Kita ada inisiatif Bantuan Kerugian Harta Benda dan Tanaman akibat serangan hidupan liar telah pun dimulakan sejak Mac 2024. Kita telah keluarkan RM12.7 juta dalam tempoh 2024 hingga 2026, 740 mohon telah menerima manfaat.
Selain itu, kita juga ada Bantuan Mangsa Serangan Hidupan Liar ataupun BMH yang diuruskan oleh Jabatan PERHILITAN untuk meringankan beban mangsa ataupun keluarga. Untuk tahun 2026, sejumlah RM300,000 telah pun diperuntukkan dan sehingga September 2026, seramai 145 pemohon telah terima bantuan dengan jumlah sebanyak RM145,800. Sekian, terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Saya jemput Puan Wong Shu Qi, Kluang.
Puan Wong Shu Qi - Kluang
Terima kasih Puan Yang di-Pertua. Soalan saya nombor 5.
5. Puan Wong Shu Qi [Kluang] meminta Menteri Pengangkutan menyatakan, perancangan strategi kapasiti pelabuhan nasional secara menyeluruh bagi menyelaraskan peranan antara pelabuhan-pelabuhan yang sedang dibangkitkan iaitu terminal ketiga Carey Island, Midport di Port Dickson, pengembangan Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) dan cadangan PTP2 memandangkan semua pelabuhan ini terletak di Selat Melaka dan menyasarkan kargo.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Silakan Yang Berhormat Menteri Pengangkutan untuk menjawab.
Menteri Pengangkutan - Tuan Loke Siew Fook
Terima kasih Puan Yang di-Pertua. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Kementerian Pengangkutan sentiasa komited dalam merangka dan melaksanakan perancangan strategi kapasiti pelabuhan nasional secara menyeluruh bagi memastikan pembangunan infrastruktur maritim negara teratur, mampan serta mengelakkan pertindihan peranan yang berisiko menjejaskan daya saing sektor logistik negara.
Pembangunan terminal ketiga Pelabuhan Klang di Pulau Carey amat diperlukan memandangkan Pelabuhan Klang telah mencapai kadar penggunaan melebihi 73 peratus daripada kapasiti sedia ada. Dengan mengendalikan 15.14 juta TEUs pada tahun 2025 di samping kekangan kawasan tanah daratan serta kedalaman air di pelabuhan sedia ada. Pembangunan ini dilaksanakan secara kerjasama awam-swasta berkonsepkan kos sifar kepada Kerajaan Persekutuan.
Pembesaran terminal kontena di Pelabuhan Klang oleh Westport Malaysia Sdn. Bhd. melibatkan pembesaran tembaga kontena CT10 sehingga CT17 di Pelabuhan Barat dijangka meningkatkan kapasiti pengendalian Terminal Pelabuhan Barat sehingga 28 juta TEU menjadikan jumlah kapasiti kendalian keseluruhan Pelabuhan Klang termasuk Terminal Pelabuhan Utara kepada 34.2 juta TEU.
Pembangunan ini secara keseluruhannya mampu meningkatkan kapasiti Pelabuhan Klang kepada 60 juta TEUs setahun, sekali gus mengukuhkan kedudukannya dalam kelompok 10 pelabuhan tersibuk di dunia. Sementara itu, pembangunan peluasan Pelabuhan Tanjung Pelepas di bahagian selatan Selat Melaka adalah amat kritikal bagi menampung permintaan semasa dan mengekalkan daya saing Malaysia berbanding hab serantau selat lain.
Peluasan kapasiti PTP dijangka mampu meningkatkan kapasiti pengendalian kontena PTP kepada 48 juta TEU setahun, sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia di laluan utama perkapalan global. Lloyd's List 2026 juga telah menyenaraikan Pelabuhan Johor sebagai pelabuhan ke-11 tersibuk dunia selepas Pelabuhan Klang yang berada di kedudukan ke-10.
Kerajaan juga turut memberikan perhatian kepada pembangunan pelabuhan Midport di Port Dickson oleh pihak swasta. Pembangunan infrastruktur pelabuhan ini direka bentuk sebagai pelabuhan moden yang menggabungkan automasi berasaskan AI dan sistem logistik pintar. Bagi meningkatkan kecekapan rantaian logistik dan kelancaran urusan perdagangan serta pertumbuhan pelaburan negara.
Melalui kerangka penyelarasan strategik ini, peranan setiap pelabuhan telah dikhususkan dengan jelas di mana PTP berfungsi sebagai hab transhipment selatan, Pelabuhan Klang termasuk Pulau Carey sebagai hab pintu masuk utama dan transhipment tengah, manakala Midport bertindak sebagai pusat kargo khusus dan sokongan marin memastikan rangkaian bekalan maritim negara kekal synergistic, berdaya tahan menyumbang secara optimum kepada ekonomi nasional.
Secara keseluruhannya, kerajaan melalui Kementerian Pengangkutan akan memastikan pembangunan sektor pelabuhan di Malaysia memberikan impak positif kepada negara dan berupaya meningkatkan daya saing negara secara lebih kukuh, berkesan dan mampu memperkukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab maritim dan logistik serantau sekali gus mampu bersaing dengan pelabuhan negara jiran seperti Pelabuhan Tuas di Singapura yang dijangka mempunyai kapasiti sehingga 65 juta TEUs apabila siap sepenuhnya. Sekian, terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Kluang.
Puan Wong Shu Qi - Kluang
Terima kasih Puan Yang di-Pertua dan juga jawapan dari Menteri. Saya memandangkan bahawa kesemua pelabuhan ini bersaing untuk dapat kargo transshipment yang sama di Selat Melaka.
Jadi, apakah mekanisme kementerian untuk mengelakkan pelabuhan- pelabuhan kita berperang harga sesama sendiri yang akhirnya hanya akan menguntungkan syarikat perkapalan asing? Apakah jaminan kementerian bahawa pembangunan Carey Island dan juga Midport tidak akan menjejaskan kedudukan PTP sebagai perkhidmatan transshipment utama negara dan akhirnya bilakah keputusan muktamad mengenai PTP2 akan dibuat? Terima kasih.
Tuan Loke Siew Fook
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, sebenarnya tidak ada soal berkenaan bahawa kita bersaing dengan kontena ataupun kargo yang sama. Setiap pelabuhan kita ada positioning yang berlainan.
Umpamanya untuk PTP adalah hab untuk Maersk Line dan juga untuk Gemini Alliance iaitu antara syarikat perkapalan Maersk dan juga Hapag-Lloyd. Jadi, untuk PTP pengkhususan kargo transshipment hub itu adalah untuk dua syarikat perkapalan ini. Manakala untuk Westport dan Northport di Pelabuhan Klang, dia kepada lebih pelbagai— kepada syarikat-syarikat perkapalan yang lain. Jadi, tidak ada soal kita menghadapi persaingan antara sesama kita.
Dari segi harga, itu telah pun ditetapkan dari segi kadar (rate) dan sebagainya. Jadi, kita tidak cannibalise antara satu sama lain. Pembangunan untuk Pulau Carey dan Midport itu adalah konsep yang berlainan. Untuk Pulau Carey fasa pertama ini dia lebih kepada general cargo ataupun kepada kargo pukal bukan lebih kepada kontena. Untuk kontena itu akan masuk dalam fasa kedua, ketiga apabila pertumbuhan lebih besar, permintaan lebih tinggi dan sebagainya. Jadi tidak ada soal bahawa pembangunan Pulau Carey itu akan menjejaskan kepada PTP. Apatah lagi Midport ini lebih kepada pembangunan Negeri Sembilan.
Jadi, dari segi kapasitinya memang tidak dapat menandingi PTP. Jadi, soal PTP itu kedudukan PTP itu, saya rasa agak terjamin kerana PTP ini ada penyertaan ekuiti oleh syarikat Maersk Line dan Maersk Line menjadikan PTP ini adalah hab utama mereka di Asia. Jadi, pembangunan PTP itu agak terjamin dan sudah tentunya untuk pembangunan fasa-fasa seterusnya akan kita percepatkan dan sudah tentu Kementerian Pengangkutan menyokong penuh kepada pembangunan PTP Fasa Kedua. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Rantau Panjang.
Dato' Hajah Siti Zailah binti Mohd Yusoff - Rantau Panjang
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Soalan tambahan saya, apakah perancangan kerajaan untuk memastikan pembangunan kapasiti pelabuhan sehingga 100 juta TEU ini menjelang 2035 disokong dengan kapasiti jalan raya, landasan kereta api dan rangkaian logistik darat yang mencukupi dan supaya tidak berlaku keadaan pelabuhan bertaraf dunia, tetapi kesesakan berlaku di luar kawasan pelabuhan. Apakah strategi kementerian untuk memastikan peningkatan kapasiti itu turut meningkatkan bahagian Malaysia dalam pasaran transshipment ini antarabangsa khususnya dalam persaingan dalam hab pelabuhan serantau. Minta penjelasan.
Tuan Loke Siew Fook
Terima kasih Yang Berhormat. Memang keperluan untuk kemudahan-kemudahan sokongan infrastruktur jalan raya, landasan rel dan sebagainya amat diperlukan untuk menyokong pertumbuhan pelabuhan.
Seperti yang Yang Berhormat sendiri tahu bahawa ECRL telah pun disambungkan ke Pelabuhan Klang termasuk ke Westport dan Northport. Ia juga disambung ke Pantai Timur melalui Pelabuhan Kuantan. Jadi memang dasar Kementerian Pengangkutan ialah untuk menggalakkan road to rail iaitu memperbanyakkan penggunaan rel untuk mengangkut kargo-kargo, kontena- kontena dari kawasan perindustrian ke pelabuhan-pelabuhan kita. Jadi memang dasar itu akan diperkasakan lagi, akan diperkukuhkan lagi supaya penggunaan sektor rel itu dapat diperbanyakkan.
Kita yakin bahawa ini dapat diperbanyakkan apabila ECRL siap kelak dan juga pihak Kementerian Pengangkutan akan terus cuba mendapatkan keputusan pembangunan. Umpamanya, untuk Southern Bypass dari negeri-negeri selatan nak pergi ke Pelabuhan Klang ada bypass dekat Negeri Sembilan untuk terus sampai ke Pelabuhan Klang. Itu satu projek yang cuba kita angkat untuk pertimbangan dalam Rancangan Malaysia seterusnya.
Tuan Loke Siew Fook
Jadi, itu memang perancangan Kementerian Pengangkutan. Dari segi jalan raya, sudah tentu terus ditambah baik, terus ditambah dan juga dibangunkan. Untuk Pulau Carey iaitu adalah satu projek yang besar. Pulau Carey itu merupakan satu pelabuhan raksasa ataupun pelabuhan yang besar. Sudah tentu dia akan merancang dari segi pembangunan keseluruhan Pulau Carey itu.
Itu masih di peringkat awal. Tetapi perancangan untuk Pelabuhan Pulau Carey bukan sahaja untuk pelabuhan, tetapi untuk keseluruhan pembangunan kawasan perindustrian, perancangan bandar dan sebagainya. Dan cita-cita ataupun impian pihak Kerajaan Negeri Selangor ialah untuk menjadikan Pulau Carey itu sebagai satu bandar maritim. Dia bukan sahaja sebagai satu pelabuhan, tetapi ada kelengkapan, kemudahan dan infrastruktur untuk menyokong pertumbuhan Pulau Carey tersebut.
Jadi, memang itu semua adalah perancangan untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah hab maritim dan supaya kita dapat mempertingkatkan bidang maritim ini untuk menyumbang kepada ekonomi negara termasuk negeri-negeri di Pantai Timur. Kerana apabila ECRL ini dapat disambung ke negeri-negeri Pantai Timur, maka ia juga menjadi satu limpah ekonomi kepada negeri Pantai Timur. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Saya jemput Tuan Fong Kui Lun, Bukit Bintang.
Tuan Fong Kui Lun - Bukit Bintang
Terima kasih Puan Yang di-Pertua.
Soalan nombor 6.
6. Tuan Fong Kui Lun [Bukit Bintang] minta Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi menyatakan, sejauh mana perniagaan milik asing menjejaskan daya saing PMKS tempatan serta langkah kerajaan menjamin persaingan adil dan mengutamakan PMKS dalam akses premis, pembiayaan, perolehan, pelesenan dan pasaran.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi - Datuk Mohamad bin Alamin
Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih Yang Berhormat Bukit Bintang.
Puan Yang di-Pertua, untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) sentiasa memantau cabaran yang mempengaruhi daya saing Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) tempatan termasuk persaingan daripada perniagaan milik asing.
Antara lain, seperti Tinjauan PMKS 2026 oleh SME Corp. Malaysia menunjukkan intervensi pembangunan PMKS turut membantu memperkukuh kapasiti perusahaan tempatan termasuk apabila komposisi pekerja asing dalam kalangan penerima manfaat program menurun daripada 15.9 peratus kepada 14.8 peratus. Manakala pertumbuhan pekerja tempatan selepas menyertai program mencatatkan 13.2 peratus berbanding 4.1 peratus bagi pekerja asing.
Secara umumnya juga, Malaysia mengamalkan dasar ekonomi terbuka dengan rangkaian Perjanjian Perdagangan Bebas— Free Trade Agreement dengan izin, yang luas yang menyokong perdagangan dan pelaburan serta menyediakan persekitaran yang kondusif bagi pelabur dan usahawan asing untuk menjalankan perniagaan di Malaysia tertakluk kepada undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa.
Dalam hal ini, bagi memastikan PMKS tempatan terus mempunyai ruang yang adil dan berkembang, KUSKOP melalui agensi-agensinya memberi tumpuan kepada pengukuhan keupayaan PMKS melalui tindakan seperti berikut.
Pertama, dalam memperluas akses pasaran digital dan antarabangsa, KUSKOP terus meneroka kerjasama dengan platform e-dagang global susulan lawatan Yang Berhormat Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi bersama delegasi kementerian ke Alibaba Center, Guangzhou pada 3 September baru lalu.
Antara kerjasama yang sedang diteroka termasuk program rintis bagi membawa PMKS Malaysia berpotensi tinggi ke platform Tmall dan Taobao untuk pasaran China serta memanfaatkan platform seperti Daraz bagi pasaran Asia Selatan. SME Corp. juga dijadualkan memeterai memorandum persefahaman dengan Lazada Malaysia pada 15 Oktober 2026 sempena Persidangan E50 bagi memperluas lagi capaian pasaran digital PMKS tempatan.
Yang kedua, bagi memperluas akses pasaran di peringkat global pada tahun 2026 ini, SME Corp. melalui PKS@KSES telah meluluskan RM2.5 juta kepada lapan PMKS. Manakala SME Bank melalui Business Exports Programme 3.0 menyediakan RM2.3 juta yang telah memanfaatkan 18 syarikat bagi meningkatkan kebolehpasaran dan menembusi pasaran global. KUSKOP juga melaksanakan Program Pengantarabangsaan Usahawan Halal dengan peruntukan RM6 juta yang memberi manfaat kepada seramai 200 usahawan.
Yang ketiga, KUSKOP juga terus memperkukuh daya saing PMKS melalui intervensi menyeluruh merangkumi akses premis, pembiayaan, pembangunan vendor dan pelesenan. Antaranya, UDA Holdings Berhad melaksanakan Malaysian Entrepreneur Hub (MEH) dengan peruntukan RM18.5 juta dan pembangunan 200 tapak Tamu Desa di Sabah dan Sarawak sejak 2024.
Puan Yang di-Pertua, sehingga Ogos tahun ini, hampir RM10 bilion pembiayaan juga telah disalurkan kepada sekitar 270,000 usahawan di samping peruntukan RM11.5 juta bagi pembangunan vendor. Dari aspek pemudahcaraan perniagaan pula, sistem Business Licensing Electronic Support System (BLESS) turut menyediakan 45 jenis lesen secara dalam talian bagi memudah dan mempercepat urusan pelesenan. Sekian dan terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Bukit Bintang.
Tuan Fong Kui Lun - Bukit Bintang
Terima kasih Puan Yang di-Pertua.
Soalan tambahan, saya ingin bertanya Yang Berhormat Timbalan Menteri, terdapat aduan daripada PMKS tempatan bahawa platform e-dagang seperti Shopee memotong sebahagian hasil jualan secara automatik untuk bertukar kepada kredit pengiklanan yang tidak boleh ditukarkan sebagai tunai.
Soalan saya ialah, adakah kementerian akan meneliti semula amalan ini dan memastikan bahawa PMKS memberi pilihan opt-out bagi melindungi hasil jualan dan mendapat pusingan mereka? Terima kasih.
Datuk Mohamad bin Alamin
Terima kasih Yang Berhormat Bukit Bintang.
Puan Yang di-Pertua, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi ataupun KUSKOP mengambil maklum akan kebimbangan yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat dan juga para usahawan PMKS kita.
Berhubung dengan amalan sesetengah platform sebagaimana yang telah dimaklumkan, Shopee umpamanya, memang pada waktu ini kita dapati dan berdasarkan semakan, memang mereka membuat potongan sebahagian daripada harga itu sebagai pengiklanan, kredit iklan. Dan ini telah pun kita bangkitkan sebenarnya Yang Berhormat, kepada kementerian KPDNHEP dan juga agensi- agensi yang berkenaan untuk kita mengambil tindakan bagaimana untuk sekurang- kurangnya memberikan opt-out yang disebutkan oleh Yang Berhormat.
Kerana kita faham bahawa apabila ini dilaksanakan Yang Berhormat Puan Speaker, ia nya akan mengakibatkan implikasi kepada aliran tunai dan juga modal pusingan PMKS. Sekiranya ia nya tidak dilaksanakan, nanti ia akan menjejaskan ini.
Jadi insya-Allah, kita akan ambil maklum dan kita akan angkat perkara ini kepada kementerian juga, agensi yang terlibat untuk melihat apa namanya, permintaan atau kebimbangan usahawan PMKS kita.
Walau bagaimanapun, kita faham bahawa dalam konteks ini Yang Berhormat Puan Speaker, soal penguatkuasaan ataupun kawal selia ataupun cara bagaimana mereka nak berdagang melalui e-dagang yang dimaksudkan tadi itu memang di bawah kementerian yang lain, tapi kita akan membuat tindakan secara bersepadu, intergrated effort cross ministry. Insya-Allah kita akan buat yang terbaik demi membela nasib usahawan PMKS kita, insya-Allah. Terima kasih Yang Berhormat.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Langkawi.
Dato’ Mohd Suhaimi bin Abdullah - Langkawi
Terima kasih Puan Yang di- Pertua. Kita dimaklumkan bahawa PMKS merupakan 96.2 peratus daripada keseluruhan pertumbuhan perniagaan negara dan juga menyumbang 39.5 peratus kepada KDNK. Ini termasuk juga PMKS Langkawi, Yang Berhormat Menteri.
Soalan saya, di Langkawi ini, PMKS apabila produk-produknya nak dibawa keluar daripada Langkawi, dia kena cukai. Hatta kuih raya yang nak dibawa ke tanah besar, dia kena cukai. Barang kraftangan, coklat dan sebagainya. Jadi saya nak bertanya kepada Yang Berhormat Menteri, dalam konteks Langkawi ini, bagaimana kerajaan hendak membantu PMKS tempatan sekiranya barangan yang dihasilkan oleh usahawan Langkawi atau made in Langkawi ini sendiri dikenakan cukai apabila dibawa keluar dari Langkawi?
Adakah kerajaan bercadang memberikan pengecualian, insentif atau mekanisme khas supaya produk buatan Langkawi dapat dipasarkan ke tanah besar tanpa menyebabkan kos tambahan yang menjejaskan daya saing PMKS tempatan?
Dato’ Mohd Suhaimi bin Abdullah - Langkawi
Saya nak dengar, saya nak juga soalan saya ini didengar oleh Menteri Kewangan. Terima kasih Yang Berhormat Menteri. Terima kasih Puan Yang di- Pertua.
Datuk Mohamad bin Alamin
Terima kasih Yang Berhormat Langkawi. Yang Berhormat Langkawi mungkin faham bahawa bidang kuasa ini lebih kepada Kementerian Kewangan. Walau bagaimanapun Yang Berhormat, kita di kementerian kita mempunyai Majlis Pembangunan Usahawan PMKS Kebangsaan di mana dalam mesyuarat itu kita akan bincangkan semua isu yang melibatkan tentang PMKS kita termasuk juga PMKS yang berada di Langkawi, di Kedah itu dan kita tahu Langkawi adalah pulau bebas cukai.
Mungkin ada beberapa peraturan dan juga undang-undang yang perlu kita perhalusi dan ini barangkali jatuh di bawah bidang kuasa kementerian yang lain.
Tetapi saya akan mengangkat soal rungutan dan juga apa namanya kebimbangan yang dihadapi oleh PMKS kita yang berada di Langkawi, mungkin juga di Labuan barangkali. Kalau kita boleh lihat bagaimana hendak membantu usahawan kita yang berada di pulau-pulau bebas cukai ini.
Keluar sahaja produk daripada pulau itu akan dikenakan cukai. Jadi, ini adalah suatu perkara yang mungkin kita akan lihat, kita akan bangkitkan, kita akan bincangkan di Mesyuarat Majlis Perundingan Pembangunan Usahawan Peringkat Kebangsaan nanti. Terima kasih Yang Berhormat.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Saya jemput Tuan Haji Mohd Misbahul Munir bin Masduki, Parit Buntar.
Tuan Haji Mohd Misbahul Munir bin Masduki - Parit Buntar
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam sejahtera. YB. Menteri Kesihatan, Break panjang selepas Subuh; Soalan saya nombor tujuh.
7. Tuan Haji Mohd Misbahul Munir bin Masduki [Parit Buntar] minta Menteri Kesihatan menyatakan strategi kementerian dalam menangani peningkatan kes diabetes dan darah tinggi dalam kalangan belia bawah 40 tahun dan berapakah peruntukan untuk program saringan percuma di peringkat komuniti pada 2027.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Silakan Yang Berhormat Menteri Kesihatan untuk menjawab.
Menteri Kesihatan - Datuk Seri Haji Dr. Dzulkefly bin Ahmad
Terima kasih Timbalan Yang di-Pertua. Terima kasih sahabat saya, Parit Buntar yang bertanya soalan ini. sekali lagi saya mulakan dengan lafaz assalamualaikum, salam sejahtera, salam Malaysia MADANI. Parit Buntar bertanyakan soalan ini yang mengizinkan saya untuk menegaskan bahawa Malaysia hari ini Datuk Yang di- Pertua, berdepan dengan pandemik penyakit-penyakit tidak berjangkit atau namanya NCD, non-communicable diseases setelah kita ditinggalkan oleh penyakit berjangkit yang namanya COVID-19 atau virus SARS-CoV-2.
Ini lebih mencabar sebenarnya Datuk Yang di-Pertua, kalau saya boleh terus menjawab persoalan ini. NCD bukan lagi satu isu kesihatan. Ia merupakan satu ancaman besar ya kesihatan kesedaran awam dan kesejahteraan rakyat Malaysia ya. Ia nya didorong oleh empat— kita panggil sebagai faktor risiko, the risk factors dalam NCD ini adalah pertama hypertension. Kedua, diabetes, darah tinggi atau kencing manis. Hypertension, darah tinggi ataupun diabetes, kencing manis. Ketiga, adalah tinggi kolesterol dan keempat adalah berlebihan berat badan ataupun obese ya.
Dan bebannya semakin ketara. Komplikasinya semakin serius dan yang paling membimbangkan NCD terus meragut nyawa rakyat Malaysia ini. Dan pada tahun 2024, satu statistik yang boleh saya keluarkan penyakit jantung iskemik ataupun ischaemic heart disease (IHD) merupakan punca utama kematian di Malaysia sebenarnya hingga ke hari ini masih lagi the number one killer and dikatakan ini oleh pandemik silent killer adalah IHD. Kedua, adalah paru-paru. Ketiga, adalah CVA ataupun strok dan keempat adalah kanser dan seterusnya.
Diabetes dan hypertension, hipertensi adalah darah tinggi merupakan antara faktor risiko utama penyakit kardiovaskular. Ini yang akibat daripada itu IHD. Lebih membimbangkan kedua-duanya telah pun berlaku dalam kalangan golongan muda, Datuk Yang di-Pertua ya, Parit Buntar— dan sering tidak disedari kerana lazimnya tidak menunjukkan gejala. Ia sifatnya dengan izin, asymptomatic, tak ada gejala ya sehinggalah agak parah.
Dapatan NHMS 2023 menunjukkan bahawa diabetes dan hipertensi telah pun berlaku dalam kalangan golongan muda dengan jurang pengesanan yang masih lebar. Apa yang saya maksudkan kalau kita perhatikan kumpulan umur 18 hingga 29 tahun dianggarkan seramai 192,464 orang menghidap diabetes dan 339,853 orang menghidap hipertensi atau darah tinggi.
Namun yang paling lebih membimbangkan adalah lapan daripada 10 bagi kedua-dua penyakit dalam golongan umur ini masih lagi belum diketahui ataupun undiagnosed dengan izin, tidak di diagnos Tuan Yang di-Pertua. Lebih mencabar lagi. So, 80 percent, 80 peratus— lapan dalam 10, they do not know mereka ada dalam kalangan umur ini.
Kedua, adalah kumpulan 30 hingga 39 dianggarkan seramai 338,508 orang menghidap diabetes dan 938,865 orang menghidap hipertensi. Dalam kumpulan ini pula, lebih enam daripada 10, 60 peratus diabetes dan tujuh daripada seluruh 70 peratus hipertensi yang belum ataupun tidak diketahui, undiagnosed. So, they are really dengan izin mungkin dia ke depan nanti dia...
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Ringkaskan jawapan.
Datuk Seri Haji Dr. Dzulkefly bin Ahmad
...Timebomb ya. Jadi, dengan itu kalau saya nak sebutkan sedikit lagi Datuk Yang di-Pertua, pendekatan KKM tidak terhad dengan pengesanan dan rawatan tetapi turut kita mengambil pencegahan faktor over this issue. So, this is very important, sangat penting risiko utama diabetes dan hipertensi ini— apa yang kita lakukan adalah pengurangan pengambilan garam melalui pemantauan peningkatan kesedaran dari formulasi produk-produk.
So, kita adakan satu effort, satu inisiatif untuk industri mereformulasi produk menjadi healthier choice logo. Apabila mereka mengurangkan gula dan garam dan sebagainya, ia tidak tiba-tiba menjadi— processed food menjadi healthy tetapi ia nya healthy. Ia nya lebih sihat daripada kumpulannya sebab kurang gula, kurang garam.
So, kita berikan apa yang dikatakan sebagai HCL logo ya.
Kalau saya sebutkan ya bagaimana pulangan kalau kita mengambil tindakan ini, pulangan setiap kali kita melakukan ini sebenarnya adalah sekitar pada setiap ringgit yang kita belanja untuk invest dalam usaha ini, we get a RM60 return on investment, dengan izin. Pulangannya sangat besar dalam tempoh 15 tahun ya.
Pengurangan pengambilan gula termasuk melalui cukai-cukai seperti SSB ini— saya tidak mengulang banyak kali dan saya sebutkan perkara ini untuk kita mereformulasi produk minuman dan lebih 500 produk-produk telah direformulasi ataupun diadun semula menjadi satu yang lebih sihat.
Akhir sekali, kita adakan program seperti Mai Kurang Gula, Garam, Kalori.
Kita juga ada program yang kita telah laksanakan di peringkat akar umbi yang dikatakan KiBaR, kira kalori, bakar kalori dan rekod kalori kita. Jadi akhir sekali, pencegahan dan pengurusan obesiti secara lebih awal melalui apa yang diistilahkan sebagai multidisciplinary integrated management of obesity. Datuk Yang di-Pertua, inilah antara kerja-kerja kami yang sentiasa mahukan rakyat sihat dengan pendekatan untuk kita secara lebih preventive, lebih promotive dan sifatnya adalah healthcare. Bukan bila tunggu sakit baru nak kita ambil tindakan.
Kita keluar daripada rawatan penyakit...
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Yang Berhormat.
Datuk Seri Haji Dr. Dzulkefly bin Ahmad
...Kepada healthcare. Terima kasih Datuk Yang di-Pertua.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Parit Buntar.
Tuan Haji Mohd Misbahul Munir bin Masduki - Parit Buntar
Terima kasih YB Menteri. Selain saringan di klinik kesihatan, adakah kerajaan bercadang melaksanakan saringan percuma secara menyeluruh seluruh negara terutama di kawasan pedalaman yang jauh daripada hospital atau klinik kesihatan dengan mengadakan di tempat-tempat awam seperti masjid, surau, sekolah, dewan orang ramai dan sebagainya.
Datuk Ir. Shahelmey bin Yahya - Putatan
[Bangun]
Tuan Mohamad Shafizan Haji Kepli - Batang Lupar
[Bangun]
Tuan Haji Mohd Misbahul Munir bin Masduki - Parit Buntar
Apakah sasaran Kementerian Kesihatan Malaysia bagi meningkatkan kadar saringan diabetes, darah tinggi dalam kalangan belia bawah 40 tahun khususnya di kawasan yang berisiko tinggi serta apakah indikator yang digunakan untuk mengukur keberkesanan program saringan tersebut?
Dan sekiranya hasil saringan mendapati golongan belia bawah 40 tahun mempunyai bacaan gula atau tekanan darah yang tinggi, apakah mekanisme susulan yang disediakan kementerian bagi memastikan mereka mendapat rawatan, pemantauan dan intervensi gaya hidup secara berterusan di peringkat klinik kesihatan dan komuniti?
Akhir sekali, dan apakah status pelaksanaan cukai gula dan Kempen War on Sugar 2025? Terima kasih.
Datuk Seri Haji Dr. Dzulkefly bin Ahmad
Terima kasih sahabat saya Parit Buntar yang sangat prihatin dan peka tentang hal kesihatan rakyat. Datuk Yang di- Pertua, kalau saya sebutkan sedikit program yang namanya KOSPEN ataupun Komuniti Sihat Pembina Negara, kami telah lama kita laksanakan dan hal ini kalau boleh saya sebutkan adalah mustahak untuk kita keluar daripada hanya fasiliti-fasiliti kita sama ada klinik ataupun yang lain kepada satu yang bersifat outreach. Sifatnya mendekati rakyat dengan program KOSPEN ini.
Di antara pendekatannya adalah untuk dilaksanakan melalui— di peringkat komuniti dan kerjasama sukarelawan-sukarelawan kami dan our my champion dan pemimpin setempat, aktiviti saringan kita lakukan di lokaliti mudah diakses dan penduduk dalaman di pedalaman seperti dewan orang ramai, rumah-rumah ibadat dan juga kawasan perumahan dan lokaliti komuniti yang bersesuaian.
Dan di sini kita membolehkan saringan dibawa lebih dekat kepada masyarakat atau satu komuniti. Lebih dekat dengan masyarakat dan ini adalah yang kami sasarkan. Antara sasaran yang kita— sasaran KKM melalui Inisiatif Saringan Kesihatan Kebangsaan ataupun NHSI, National Health Screening Initiative kami adalah sebanyak dua juta warganegara khususnya berumur 18 tahun dan ke atas, maknanya disaring setiap tahun, Datuk Yang di-Pertua ya.
Datuk Seri Haji Dr. Dzulkefly bin Ahmad
Bagi menilai keberkesanan program, antara indikator utama ialah keupayaan saringan mengesan awal individu yang mempunyai faktor risiko yang saya sebutkan tadi, antara tiga atau empat itu tadi. Hypertension, diabetes tinggi, hypercholesterolemia atau tinggi kolesterol dan juga obes, berat badan berlebihan kerana berat badan yang berlebihan ini actually adalah satu menjadi punca kepada other diseases, kardiovaskular dan sebagainya. Itu adalah sangat mustahak.
Sehingga kini Datuk Yang di-Pertua, 2,659,841 individu bawah 40 tahun telah kita saring dengan 339,854 dikesan mempunyai tekanan darah tinggi dan 176,415 mempunyai paras glukos darah tinggi. Maknanya mereka telah dikesan awal. Tidak cukup saring, pada saya. Saya kerap tegaskan. Saringan hanya berkesan apabila terus melalui rawatan dan rawatan hanya akan bermanfaat sekiranya pesakit itu kekal dalam kawalan controlled sama ada diabetes, hypertension ataupun kolesterolnya. Itu dahulu, Datuk Yang di-Pertua. Terima kasih, Parit Buntar.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Putatan.
Datuk Ir. Shahelmey bin Yahya - Putatan
Terima kasih Puan Yang di- Pertua. Yang Berhormat Menteri, sistem Rekod Perubatan Elektronik atau singkatannya EMR boleh mendorong rakyat khususnya pesakit diabetes dan darah tinggi untuk melaksanakan pemeriksaan kesihatan secara berkala memandangkan ia merupakan mekanisme untuk memendekkan tempoh menunggu.
Soalan tambahan Putatan, adakah KKM sudah mengenal pasti fasiliti kesihatan awam di negeri Sabah yang feasible untuk dibangunkan dengan sistem EMR tersebut dengan mengambil kira kekangan dalam aspek capaian Internet?
Apakah bentuk capaian atau back up pelan yang sedang dipersiapkan sekiranya EMR gagal berfungsi di sesebuah fasiliti kesihatan awam di kawasan luar bandar Sabah?
Datuk Seri Haji Dr. Dzulkefly bin Ahmad
Terima kasih Ahli Yang Berhormat Putatan. Yang Berhormat sedia maklum, visi saya untuk Parlimen Kelima Belas ini adalah untuk melunaskan cita-cita kami, cita-cita saya pada awal saya mengemudi KKM ini adalah untuk mendapatkan apa yang diistilahkan sebagai a national electronic medical record untuk seluruh negara.
A lifetime health record sebagai satu agenda nasional kerana kita tahu hanya dengan kita go digital, akan dapat kita lakukan dua perkara, Datuk Yang di-Pertua.
Adalah pertama, precision patient care, precision health yang akhirnya akan berkesudahan akan meningkat kepada precision public health di mana data-data, the big data yang kita ada itu mengizinkan kita membuat data analytics yang mengizinkan kita membuat intervensi bersasar, to look into all sama ada sifatnya infectious disease mahupun penyakit-penyakit NCD tadi di mana kita akan dapat membuat intervensi kepada subpopulation a the right time in the right intervensi.
Saya...
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Ringkaskan jawapan.
Datuk Seri Haji Dr. Dzulkefly bin Ahmad
Saya terus terang sebutkan bahawa program met national EMR ini di bawah bahagian baharu yang saya tubuhkan namanya Bahagian Kesihatan Digital (BKD) yang mana telah pun mencerakinkan dan mengatur semua, mengatur satu pelan pelaksanaan on national EMR, sama ada di Semenanjung atau seluruh negara dan telah pun diberikan penambahan daripada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri sebanyak RM1 bilion yang lalu supaya over and above RM650 juta itu ditambah dengan RM350 juta, menjadikan kami mampu melaksanakan ke tahap maksimumnya untuk kesemua klinik-klinik kesihatan dan juga hospital yang akan kita letakkan, akan kita bekalkan akan national EMR itu, Datuk Yang di-Pertua. Untuk lebih khusus...
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Terima kasih Yang Berhormat.
Datuk Seri Haji Dr. Dzulkefly bin Ahmad
Untuk lebih khusus...
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Terima kasih Yang Berhormat Menteri.
Datuk Seri Haji Dr. Dzulkefly bin Ahmad
...Di Sabah, kita akan berikan secara bertulis, Datuk Yang di-Pertua. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Ya. Saya jemput Datuk Seri Haji Jalaluddin bin Haji Alias, Jelebu.
Datuk Seri Jalaluddin bin Alias - Jelebu
Terima kasih Yang di-Pertua.
Soalan Jelebu nombor 8.
8. Datuk Seri Jalaluddin bin Alias [Jelebu] minta Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menyatakan sejauh mana kemajuan penyelesaian isu pengiktirafan tanah, kemudahan asas dan peluang ekonomi masyarakat orang asli serta tempoh masa yang disasarkan untuk menyelesaikan kes tertunggak yang telah berlarutan.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah - Datuk Hajah Rubiah binti Wang
Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Terima kasih YB Jelebu atas soalan.
Tuan Yang di-Pertua, kementerian amat prihatin berhubung penyelesaian isu pengiktirafan tanah masyarakat orang asli. Di Jelebu, daripada 13 buah kampung orang asli di Parlimen Jelebu, sebanyak 12 kampung orang asli dengan anggaran keluasan tanah sebanyak 800.56 hektar telah pun diwartakan di bawah Akta Orang Asli 1954 [Akta 134] dan Kanun Tanah Negara 1965. Bagi baki satu kampung orang asli yang belum diwartakan di Jelebu, JAKOA telah pun melantik juruukur tanah berlesen bagi melaksanakan kerja-kerja pengukuran pada tahun 2026 bagi tujuan permohonan pewartaan kepada pihak berkuasa negeri.
Bagi pembangunan kemudahan asas pula bagi tahun 2026, kementerian telah pun melaksanakan satu projek menaik taraf tandak dan paip air, tiga projek infrastruktur dan ameniti sosial dan tiga projek penyelenggaraan jalan dan enam projek baik pulih rumah orang asli. Dalam masa yang sama, kerajaan juga merancang untuk menaik taraf kemudahan asas yang lain secara berperingkat dari semasa ke semasa.
Menyentuh mengenai inisiatif pembangunan ekonomi masyarakat orang asli, KKW melalui JAKOA melaksanakan program memperkasakan perniagaan orang asli dengan menawarkan geran usahawan bernilai RM9,000 hingga RM35,000 serta geran koperasi sehingga RM200,000 bagi pembiayaan peralatan dan juga premis- premis perniagaan. Pada masa yang sama, kerajaan juga menawarkan program modenisasi pertanian yang menyediakan pelbagai bentuk pembiayaan dengan nilai bermula RM5,000 hingga RM300,000 yang merangkumi pelbagai skop bantuan.
Sehubungan dengan itu, kita mengharapkan agar orang-orang asli sentiasa mengemukakan permohonan bagi menjamin kelangsungan pendapatan, sekali gus mengembangkan ekonomi setempat secara holistik. Terima kasih Tuan Yang di- Pertua.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yien
Jelebu.
Datuk Seri Haji Jalaluddin bin Haji Alias - Jelebu
Terima kasih Datuk Yang di-Pertua dan saya ucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Menteri di atas jawapan sebentar tadi.
Puan Yang di-Pertua, saya nak cuba betulkan dalam Dewan ini. Pewartaan kawasan penempatan masyarakat orang asli di Jelebu ada 10 kampung lagi. Belum selesai. Bukan satu, ada 10 lagi belum selesai. Itu adalah kawasan pewartaan kawasan penempatan masyarakat orang asli di kawasan Negeri Sembilan ini.
Cumanya Datuk Yang di-Pertua, soalan pertama saya, kita kena terima hakikat bahawa banyak keperluan masyarakat orang asli yang perlu dipenuhi sekarang ini. Salah satu sebahagiannya Yang Berhormat Menteri adalah kawasan pewartaan kawasan pertanian masyarakat orang asli kerana ini menjadi satu persoalan di kalangan masyarakat orang asli di mana kawasan jajaran urusan tani mereka masih lagi belum selesai. Itu yang pertama.
Yang keduanya Datuk Yang di-Pertua ialah tentang rumah kerana saya sering sebut masalah rumah orang asli yang menganut agama Islam masih lagi menunggu kelulusan dan keputusan daripada kementerian. Kerana itu Datuk Yang di-Pertua, perkara ini harus kita ambil pendekatan untuk diselesaikan daripada semasa ke semasa supaya kita tidak ada backlog yang terlalu panjang.
Yang akhir sekali Datuk Yang di-Pertua, yang ini saya nak minta Yang Berhormat Menteri kerana satu kampung di kawasan Parlimen saya, Kampung Sungai Sampo, ada 13 rumah Yang Berhormat Menteri, tak ada lagi bekalan elektrik luar bandar. Dah lama dah.
Saya dah mohon mula-mula saya jadi Ahli Parlimen tahun 2018, masih belum dapat lagi. 2022 saya ulangi permohonan saya, masih lagi belum lulus. Kampung itu, 13 rumah tak ada api, elektrik dan rumah itu bukanlah ke dalam sangat. Bukanlah dalam kawasan luar bandar sangat. Dia sekitar pinggir kampung sahaja tapi agak pelik kenapa rumah ini masih lagi mendapat bekalan. Terima kasih Puan Yang di- Pertua.
Datuk Hajah Rubiah binti Wang
Terima kasih YB Jelebu atas soalan tambahan tadi. Untuk makluman Yang Berhormat YB Jelebu, sebenarnya maklumat tadi yang saya mula beritahu tadi adalah fokuskan kepada Parlimen Jelebu. Untuk Negeri Sembilan, di bawak RMK12 yang lepas, kita telah pun menyasarkan 22 kampung orang asli untuk diwartakan.
Datuk Hajah Rubiah binti Wang
12 telah diwartakan, 10 lagi dalam proses pewartaan sekarang. Ada yang dalam pelbagai peringkat, ada yang di peringkat kerajaan negeri, ada yang dalam proses penyukatan dan juga ada juga masih dalam libat urus bersama dengan agensi-agensi kerajaan yang lain.
Yang seterusnya, berkaitan dengan pewartaan tadi juga, kita mengambil serius perkara ini, Yang Berhormat YB Jelebu, yang mana kita sebenarnya telah pun mengambil inisiatif untuk sentiasa membuat libat urus. Sebab untuk memastikan kelulusan pewartaan ini di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.
Kita dari sudut timeframe dan garis panduan, kita tak dapat muktamadkan sebab kuasa itu di bawah kerajaan negeri. Apa yang kita laksanakan sekarang adalah kita memuktamadkan libat urus setiap tahun dengan kerajaan negeri dengan hasrat perkembangan yang lebih baik untuk pewartaan tanah-tanah kampung orang asli ini dapat diluluskan seberapa segera.
Yang kedua berkaitan dengan program-program pembangunan rumah tadi.
Untuk makluman Yang Berhormat Jelebu, kita sentiasa memproses pelaksanaan ataupun membina rumah-rumah orang asli ini dan peruntukan kita agihkan berdasarkan peruntukan kerajaan negeri dan kita agihkan juga mengikut Parlimen- parlimen tertentu dan insya-Allah kemukakan sahaja senarai itu, kita akan lihat dan buat pertimbangan dari semasa ke semasa.
Tuan Haji Abdul Latiff bin Abdul Rahman - Kuala Krai
[Bangun]
Datuk Hajah Rubiah binti Wang
Berkaitan dengan Kampung Sempua tadi...
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Yang Berhormat boleh bagi jawapan bertulis.
Datuk Hajah Rubiah binti Wang
Last sekali ya. Untuk Kampung Sempua tadi, cadangan untuk bekalan elektrik itu telah pun dalam pertimbangan kita. Dah kita kemukakan untuk bajet RP3 ini dan kita berharap ia diluluskanlah, insya-Allah. Yang lain itu nanti kita jawab secara bertulis. Terima kasih Datuk Yang di-Pertua.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Kuala Krai.
Tuan Haji Abdul Latiff bin Abdul Rahman - Kuala Krai
Terima kasih Tuan di-Pertua. Yang Berhormat Timbalan Menteri, dalam sesi penggulungan laporan SUHAKAM persidangan lepas, kerajaan mencadangkan penubuhan Majlis Penasihat Orang Asli Semenanjung Malaysia sebagai alternatif kepada cadangan penubuhan suruhanjaya bebas dengan mengambil contoh model Maori Council di New Zealand. Minta Yang Berhormat Timbalan Menteri jelaskan apakah fungsi dan bidang kuasa majlis tersebut serta bagaimana kerajaan memastikan pandangan majlis tersebut diterjemahkan dalam pembentukan dan penambahbaikan dasar berkaitan kepentingan orang asli.
Dan juga saya ingin tahu berkaitan peruntukan RM9 juta bagi bantuan pengajian tinggi khusus mahasiswa orang asli dengan 1,225 mahasiswa orang asli kini melanjutkan pengajian di pelbagai institusi pengajian tinggi di seluruh negara.
Minta Yang Berhormat Timbalan Menteri nyatakan apakah mekanisme yang digunakan untuk mengukur kadar graduasi, kebolehpasaran graduan orang asli setelah tamat pengajian serta apakah sasaran KKDW untuk memastikan pelaburan pendidikan ini diterjemahkan kepada pekerjaan berkemahiran dan berpendapatan tinggi? Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Datuk Hajah Rubiah binti Wang
Terima kasih YB atas soalan tambahan tadi. Berkaitan dengan Majlis Perundingan Orang Asli ya, sebenarnya majlis ini telah kita tubuhkan dalam bentuk jawatankuasa sebenarnya. Dalam bentuk jawatankuasa yang mana ia menjadi satu saluran libat urus bersama dengan masyarakat orang asli dan juga libat urus bersama dengan NGO-NGO di bawah orang asli ya, yang mana dalam sekarang beroperasi sebagai jawatankuasa Orang Asli. Namun begitu, penubuhan ini akan kita maktubkan dalam pindaan Akta Orang Asli [Akta 154] yang akan kita bentangkan dalam Parlimen sedikit masa lagilah. Dan di situ kita akan huraikan secara terperinci peranan dan tanggungjawab Majlis Perundingan Orang Asli berkenaan.
Dan berkaitan dengan peruntukan RM9 juta untuk pendidikan tinggi itu, Tuan Yang di-Pertua, saya mohon jawab bertulis. Saya akan detail-kan jawapan dia, memang program itu telah kita laksanakan. Kita laksanakan dan kita matching dengan IPT dan IPTS dan juga kolej-kolej sebenarnya dan saya tak ada maklumat terperinci pada hari ini dan kita akan jawab secara bertulis. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Yang Berhormat, sekarang tamatlah sesi untuk Waktu Pertanyaan-pertanyaan bagi Jawab Lisan.
[Sesi Pertanyaan-pertanyaan bagi Jawab Lisan tamat]
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi - Dato’ Dr. Mohammad Yusof bin Apdal
Yang di-Pertua, “Mengikut Peraturan Mesyuarat 12(1), saya mohon mencadangkan bahawa Mesyuarat pada hari ini tidak akan ditangguhkan sehingga selesai dibahas dan diputuskan Rang Undang-undang Pembangunan Sukan (Pindaan) 2026 seperti di No.
1 dalam Aturan Urusan Mesyuarat dan Usul-usul hari ini. Selepas itu Majlis Mesyuarat akan ditangguhkan sehingga jam 10.00 pagi hari Rabu, 7 Oktober 2026.” Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Ada sesiapa yang menyokong?
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan - Datuk Hajah Aiman Athirah binti Sabu
Tuan Yang di-Pertua, saya mohon menyokong.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Ahli-ahli Yang Berhormat, sekarang saya kemukakan masalah kepada Majlis untuk diputuskan.
Masalahnya ialah usul seperti yang dikemukakan tadi hendaklah disetujukan.
[Usul dikemuka bagi diputuskan; dan disetujukan]
Rang undang-undang bernama suatu akta bagi menggunakan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Disatukan untuk perkhidmatan bagi tahun 2027 dan bagi memperuntukkan jumlah wang itu untuk perkhidmatan bagi tahun itu; dibawa ke dalam Mesyuarat oleh Menteri Kewangan II [Datuk Seri Amir Hamzah Azizan]; dibaca kali yang pertama; akan dibacakan kali yang kedua pada hari Jumaat, 9 Oktober 2026, jam 3.30 petang.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Dipersilakan Yang Berhormat Menteri untuk kemukakan rang undang-undang ini.
Menteri Belia dan Sukan - Dr. Mohammed Taufiq bin Johari
Terima kasih Puan Yang di-Pertua. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera dan salam Malaysia MADANI. Tuan Yang di-Pertua, saya mohon mencadangkan rang undang-undang Pembangunan Sukan (Pindaan) 2026 dibacakan kali kedua sekarang.
Tuan Yang di-Pertua, saya mulakan pembentangan ataupun cadangan rang undang-undang ini dengan berkongsi satu kisah yang sangat menggembirakan di Asian Games di Aichi-Nagoya. Kita lihat bagaimana atlet-atlet kita berjaya untuk merangkul sembilan pingat emas, tujuh pingat perak dan 16 pingat gangsa.
[Tepuk] Dan ini adalah yang terbaik sejak dari 2010, menyamai di Guangzhou, China.
Tuan Yang di-Pertua, kita melihat bahawa ada perubahan dari segi landskap sukan negara daripada tahun ke tahun dan Kementerian Belia dan Sukan sentiasa ingin menggalakkan dan memudahkan pembangunan serta pentadbiran sukan Malaysia. Sebab itu kita mempunyai Akta Pembangunan Sukan 1997 [Akta 576] yang menyokong perkara ini. Akta 576 telah diwartakan pada 25 September 1997 dan mula berkuat kuasa di Semenanjung pada 1 Januari 1998; Wilayah Persekutuan Labuan 10 Julai 2003; serta Sabah dan Sarawak pada 1 Oktober 2004.
Dan kita lihat akta ini menjadi satu instrumen penting untuk memastikan sukan negara terus maju, kesatuan sukan dapat ditadbir dengan baik dan yang paling penting sebenarnya untuk mengharumkan nama negara kita. Akta 576 ini telah pun dipinda pertama kali melalui Akta Pembangunan Sukan (Pindaan) 2018 yang berkuat kuasa pada 1 Mac 2019.
Tuan Yang di-Pertua, kita lihat pada saban tahun perkembangan sukan semakin membaik dan ekosistem sukan negara juga telah berkembang dengan ketara dari segi bilangan badan sukan, penganjuran acara sukan, penglibatan sektor swasta, keperluan integriti sukan, tuntutan keselamatan peserta serta pematuhan kepada piawaian dan kewajipan antarabangsa.
Dan kita lihat pelbagai sekarang kalau mungkin dahulu hanya beberapa sukan sahaja yang popular dalam negara kita tetapi secara sekarang ini secara global juga banyak sukan-sukan yang mula masuk ke negara dan menjadi perhatian kepada atlet-atlet dan juga seluruh rakyat Malaysia.
Jadi, antara isu utama yang kita kenal pasti dalam pelaksanaan Akta 576 ini adalah keperluan untuk memperjelaskan:
(i) kuasa Pesuruhjaya Sukan;
(ii) perlembagaan kepada persatuan sukan itu sendiri;
(iii) mengawal perubahan nama, alamat dan sebagainya;
(iv) mekanisme pengurusan harta;
(v) mengukuhkan lagi penyiasatan jika berlaku sebarang insiden yang melibatkan persatuan-persatuan sukan;
(vi) memperkukuhkan lagi anti-doping; dan
(vii) sukan selamat.
Menteri Belia dan Sukan - Dr. Mohammed Taufiq bin Johari
Pindaan yang dicadangkan bertujuan kita mewujudkan satu kerangka kawal selia yang lebih jelas, telus dan seimbang bagi memastikan bahawa badan sukan ini dapat berfungsi dengan baik. Badan sukan ini dapat berfungsi dengan seimbang, bertanggungjawab dan berintegriti selaras dengan kepentingan pembangunan sukan negara. Kita lihat untuk membentuk ataupun meminda akta ini, ia bukan memakan masa satu, dua hari. Ia memakan masa dan proses yang sangat panjang.
Kementerian Belia dan Sukan telah melaksanakan perbincangan awal dengan pemegang taruh yang melibatkan semua pihak termasuk juga dengan pengamal undang-undang, syarikat, masyarakat umum mulai tahun 2021 hingga 2023 dan kita mengadakan juga soal selidik secara online atau dalam talian, dilaksanakan pada 11 Ogos 2023 hingga 16 September 2023 bagi mendapatkan segala bentuk pandangan daripada semua pihak berkaitan dengan penambahbaikan Akta 576 ini.
Tuan Yang di-Pertua, kita juga telah melaksanakan sesi libat urus dengan semua negeri-negeri, pindaan Akta 576 ini dilaksanakan termasuk Sabah dan Sarawak. Sebanyak enam sesi libat urus peringkat zon dan dua sesi libat urus bersama dengan wakil kementerian dan juga agensi Persekutuan dan Persatuan Sukan Kebangsaan telah pun kita adakan. Jadi secara keseluruhannya, kita telah pun mendapat maklum balas sebanyak 134 maklum balas yang kita rangkumkan dan kita nak pastikan bahawa pindaan ini dapat dipinda secara komprehensif, menyeluruh dan memberikan kebaikan kepada semua.
Maklum balas yang diterima menunjukkan sokongan terhadap keperluan meminda Akta 576 bagi memastikan kerangka perundangan sukan negara lebih responsif terhadap cabaran semasa dan kawal selia sukan dilaksanakan dengan lebih jelas, telus, seimbang dan yang paling penting bertanggungjawab.
Tuan Yang di-Pertua, Jemaah Menteri pada 2 September 2026, telah pun menimbangkan dan meluluskan memorandum daripada Menteri Belia dan Sukan berkaitan dengan Rang Undang-undang Pembangunan Sukan (Pindaan) 2026. Dan, rang undang-undang ini juga telah pun dibawa kepada special select committee ataupun Jawatankuasa Pilihan Pembinaan Negara Bangsa, Pendidikan dan Pembangunan Sumber Manusia Parlimen Kelima Belas Bilangan 5 Tahun 2026 pada 15 September 2026 yang dipengerusikan oleh YB Indera Mahkota.
Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada jawatankuasa, kepada pengerusi dan seluruh anggota jawatankuasa yang telah memberikan input yang sangat baik supaya apabila akta ini dipinda dan diimplementasikan, maka ia benar- benar telus dan juga bertanggungjawab kepada semua.
Tuan Yang di-Pertua secara keseluruhannya, RUU ini memberi tumpuan kepada beberapa perkara utama. Yang pertama adalah untuk memperkukuhkan tadbir urus persatuan ataupun badan sukan yang mana RUU ini memberikan kuasa kepada Pesuruhjaya Sukan untuk mengarahkan badan sukan berdaftar meminda perlembagaan bagi mematuhi peruntukan akta dan peraturan di bawahnya.
RUU ini juga memperuntukkan keperluan mendapatkan kelulusan pesuruhjaya sebelum mengubah nama, tempat urusan, alamat atau meminda perlembagaan badan sukan dan memperuntukkan pemeriksaan dokumen serta carian maklumat dengan pengenaan fi berpatutan dan ini akan membolehkan Pesuruhjaya Sukan mengambil tindakan pembetulan secara lebih teratur apabila terdapat peruntukan dalam perlembagaan atau kaedah badan sukan yang tidak selaras dengan akta atau peraturan di bawahnya.
Yang kedua Puan Yang di-Pertua, RUU ini mengukuhkan mekanisme pengurusan harta badan sukan yang dibatalkan pendaftaran. Sebab kita lihat jika sesuatu badan sukan itu mempunyai masalah dan badan sukan itu masih lagi mempunyai kewangan dan sebagainya, kita tidak ada satu punca kuasa ke manakah harta tersebut ingin dipindahkan. Jadi dengan adanya RUU ini, maka ia akan lebih teratur dan lebih baik lagi.
Kalau kita lihat contoh boleh saya berikan kes pendaftaran Persatuan Automobil Malaysia (AAM) telah pun dibatalkan pada 30 November 2018 dan terdapat baki sebanyak RM475,260.25 di dalam badan sukan tersebut dan Jabatan Insolvensi Malaysia juga berpandangan bahawa tiada punca kuasa ataupun tiada kuasa yang jelas dalam Akta 576 ini berkaitan dengan peletakhakkan harta benda sukan yang telah pun dibatalkan. Maka, dengan RUU ini jika ada persatuan- persatuan atau badan sukan yang digantung, maka harta tersebut kita boleh tahu ataupun ada punca kuasa yang ditetapkan.
Puan Yang di-Pertua, ketiga adalah untuk mengukuhkan elemen penguatkuasaan Akta 576. RUU ini memperkenalkan akta baharu iaitu bahagian 6A yang mengandungi peruntukan berkaitan pelantikan pegawai penguat kuasa, penyiasatan, pengisytiharan jawatan dan kad kuasa, pemeriksaan orang dan pengambilan pernyataan, pengemukaan dan pemeriksaan dokumen atau benda, penyitaan serta permohonan dan pengeluaran waran geledah.
Peruntukan ini diwujudkan kerana Akta 576 mempunyai peruntukan kesalahan dan penalti. Sekarang ini jika ada kesalahan, kita boleh kenakan penalti tetapi tiada tindakan yang lebih lanjut ataupun yang boleh kita kuatkuasakan, maka dengan RUU ini kita ingin memperkasakan dengan lebih telus lagi. Dan, dalam keadaan ini kewujudan kesalahan dan penalti sahaja belum memadai jika sekiranya kuasa untuk mendapatkan maklumat, mengambil keterangan, mendapatkan dokumen atau bukti dan menjalankan tindakan penguatkuasaan tidak dinyatakan dengan jelas dalam akta. Maka, dari itu RUU ini adalah amat-amat penting.
Keempat, memperkukuh asas perundangan berkaitan antidoping dan Sukan Selamat kerana kalau kita lihat tidak guna kalau kita mempunyai atlet yang hebat, kita mempunyai sukan yang hebat, persatuan yang hebat tetapi pada akhirnya, dia kena antidoping . Maka ia tidak hanya menjejaskan atlet tersebut tetapi juga ia menjejaskan nama negara. Dan, pada tahun hadapan, kita akan menganjurkan temasya yang besar Sea Games 2027 yang mana kita merupakan tuan rumah, maka peraturan-peraturan berkaitan dengan antidoping ini adalah amat-amat penting yang perlu kita lihat.
Malaysia telah menerima pakai World Anti-Doping Code sejak 28 Mei 2007 dan sekarang ini kita sedang membuat persediaan untuk Kod Anti-Doping Dunia 2027 yang telah pun diluluskan pada Disember 2025 dan akan berkuat kuasa pada 1 Januari 2027. Jadi, apabila kita mempunyai punca kuasa ini, apa-apa yang berkaitan dengan Anti-Doping Code maka kita tidak perlu lagi meminda akta ibu tersebut tetapi kita boleh melakukan pindaan secara terus. Puan Yang di-Pertua, bagi Sukan Selamat, KBS telah melancarkan Kod Sukan Selamat pada 15 Mac 2023 dan memindanya pada tahun 2024.
Seterusnya yang kelima, memperuntukkan penetapan fi bagi pemeriksaan dokumen dan carian maklumat. Peruntukan ini membolehkan dokumen yang difailkan dengan Pesuruhjaya Sukan termasuk juga dengan dokumen atau salinan dokumen yang dikeluarkan oleh Pesuruhjaya Sukan diperiksa dan diperoleh salinannya oleh mana-mana orang tertakluk kepada syarat dan fi yang ditetapkan. Fi ini akan ditetapkan secara munasabah melalui peraturan dan antara perkhidmatan yang boleh dikenakan fi termasuk juga pemeriksaan dokumen, carian maklumat dan mendapatkan salinan dokumen.
Tuan Yang di-Pertua, secara keseluruhannya boleh saya rangkumkan bahawa RUU Pembangunan Sukan (Pindaan) 2026 ini merangkumi 13 fasal seperti berikut.
Fasal 1 mengandungi tajuk ringkas dan peruntukan mengenai permulaan kuat kuasa.
Fasal 2 bertujuan untuk meminda seksyen 2 Akta 576 dengan memasukkan takrif baharu mahkamah yang mana dimaksudkan ini adalah mahkamah tinggi.
Fasal 3 bertujuan untuk menggantikan subseksyen 3(2) Akta 576 bagi memperuntukkan bahawa Menteri boleh mengeluarkan garis panduan berkaitan pembangunan sukan selagi tidak bertentangan dengan garis panduan atau kaedah antarabangsa.
Fasal 4, 5 dan 6 ini bertujuan untuk menggantikan istilah pertandingan olahraga kepada temasya sukan bagi memastikan keseragaman dan ketepatan penggunaan istilah bahasa yang digunakan.
Fasal 7 bertujuan memasukkan seksyen baharu, 19A, 19B dan 19C berkaitan status harta badan sukan yang dibatalkan pendaftarannya, kuasa Pesuruhjaya Sukan untuk mengeluarkan arahan bertulis supaya badan sukan meminda perlembagaannya dan keperluan mendapatkan kelulusan Pesuruhjaya Sukan bagi perubahan nama, tempat urusan, alamat ataupun kaedah badan sukan.
Fasal 8 bertujuan untuk memasukkan seksyen baharu 25A, 25B dan 25C berkaitan perletakhakkan harta, hutang dan liabiliti badan sukan yang telah dibatalkan pendaftarannya, pemindahan hak milik harta dan liabiliti kepada badan sukan baru yang berdaftar serta pemeriksaan dokumen dan carian maklumat.
Menteri Belia dan Sukan - Dr. Mohammed Taufiq bin Johari
Seterusnya fasal 9 bertujuan untuk memasukkan suatu bahagian baharu VIA ke dalam Akta 576 yang mengandungi seksyen baru 32A hingga 32H berkaitan penguatkuasaan, penyiasatan, termasuk pelantikan pegawai penguat kuasa, kuasa pemeriksaan, pengemukaan dokumen dan bahan penyitaan dokumen serta permohonan dan pengeluaran waran geledah.
Fasal 10 bertujuan untuk memasukkan seksyen baru 36A ke dalam Akta 576 bagi memperuntukkan bahawa pendakwaan di bawah akta ini hanya boleh dimulakan jika keizinan secara bertulis Pendakwa Raya diperoleh.
Seterusnya fasal 11, bertujuan untuk memasukkan perenggan baharu (ea) dan (eb) ke dalam subseksyen 38(2) Akta 576 bagi memberi Menteri kuasa untuk membuat peraturan-peraturan yang berhubungan dengan pematuhan kewajipan antarabangsa dalam hal ehwal antidoping dan perkara berkaitan sukan, selamat.
Fasal 12 bertujuan untuk meminda perenggan subseksyen 41(1) yang memberikan Menteri kuasa untuk mengecualikan mana-mana orang daripada semua atau mana-mana peruntukan akta ini dengan memasukkan selepas perkataan “Akta ini”, perkataan “atau mana-mana peraturan yang dibuat di bawahnya”. Dan terakhir fasal 13, ini adalah bertujuan untuk menambah peruntukan baru iaitu peruntukan 41A, berkaitan kuasa Menteri untuk mengisytiharkan sesebuah badan sukan sebagai menyalahi undang-undang bagi tujuan membatalkan pendaftaran mana-mana badan sukan. Pengisytiharan mana-mana badan sukan hendaklah dibuat melalui perintah yang disiarkan dalam warta.
Puan Yang di-Pertua, secara khusus peruntukan ini terpakai sekiranya badan sukan digunakan atau sedang digunakan bagi tujuan yang memudaratkan atau bertentangan dengan kepentingan keselamatan Malaysia, ketenteraman awam dan kemoralan. Maknanya, tidak semudah itu sahaja kuasa Menteri untuk membatalkan jika sekiranya ya Menteri tidak bersetuju dengan mana-mana badan sukan dan sebagainya. Ia perlu melalui satu proses yang panjang dan juga perlu mendapat panduan, nasihat daripada Pesuruhjaya Sukan sebelum melaksanakan apa-apa juga keputusan oleh Menteri.
Dan yang paling penting adalah tiga poin utama. Selagi mana badan sukan tidak melanggar tiga garis merah ini, maka kuasa Menteri dalam subseksyen ataupun dalam peraturan ini tidak boleh dilaksanakan. Tiga garis merah yang saya nyatakan seperti tadi: kepentingan keselamatan Malaysia; ketenteraman awam; ataupun kemoralan yang melibatkan badan-badan sukan ataupun penganjuran sukan tersebut.
Tuan Yang di-Pertua, kebimbangan bahawa peruntukan ini memberikan kuasa mutlak kepada Menteri untuk mengisytihar sesebuah badan sukan sebagai tidak sah adalah tidak tepat. Walaupun sesuatu undang-undang memberikan kuasa budi bicara kepada Menteri, kuasa tersebut tetap tertakluk kepada prinsip undang- undang pentadbiran dan yang paling penting, setiap apa keputusan yang dibuat oleh Menteri di bawah peruntukan undang-undang ini, boleh dicabar di mahkamah dan jika sekiranya terdapat sebarang kesalahan dalam membuat keputusan, ia boleh dicabar dan boleh diubah keputusan tersebut.
Dan Tuan Yang di-Pertua, kita lihat bahawa seksyen 41A ini tidak boleh dibaca sebagai memberikan kuasa yang absolute kepada Menteri, sebaliknya kuasa tersebut mempunyai batas yang jelas seperti yang diperuntukkan oleh akta yang telah pun ditetapkan.
Tuan Yang di-Pertua, untuk mengelakkan peruntukan ini daripada ditafsirkan secara terlalu luas, kementerian akan memastikan bahawa pelaksanaannya berpandukan parameter yang jelas. Sebagai contoh dalam konteks keselamatan Malaysia, peruntukan ini boleh menjadi relevan sekiranya terdapat bukti bahawa sesebuah badan sukan itu digunakan atau sedang digunakan sebagai platform atau saluran untuk membantu aktiviti yang mengancam keselamatan negara seperti pelbagai ya aktiviti-aktiviti yang melibatkan sukan ataupun badan sukan tersebut.
Bagi ketenteraman awam, contohnya ialah keadaan apabila sesebuah badan sukan digunakan secara terang-terangan ataupun secara terancang untuk mengatur atau mencetuskan sebarang keganasan, rusuhan, pergaduhan terancang atau aktiviti yang menimbulkan ancaman yang serius terhadap keamanan dan keselamatan orang awam. Pertikaian biasa dalam pertandingan, perselisihan antara persatuan atau kritikan terhadap kerajaan, itu bukan dengan sendirinya suatu ancaman kepada ketenteraman awam.
Dan bagi kemoralan, ia juga tidak seharusnya ditafsirkan berdasarkan pandangan peribadi seorang Menteri, apa yang disukai atau tidak disukai tetapi ia perlu melihat dengan lebih jelas dan objektif ataupun asasnya itu perlu ada. Dan contoh, jika sebuah badan sukan digunakan secara sistematik sebagai wadah bagi eksploitasi seksual, pelacuran, pemerdagangan orang bagi tujuan seksual atau kegiatan tidak bermoral lain yang bertentangan dengan undang-undang dan kepentingan awam.
Maka dengan pendekatan ini, ketiga-tiga asas tersebut tidak boleh digunakan secara terlalu umum untuk membuat sebarang keputusan.
Tuan Yang di-Pertua, pengenalan seksyen 41A juga, tidak bermaksud bahawa pada masa ini telah berlaku kes badan sukan yang digunakan untuk mengancam keselamatan negara, ketenteraman awam atau kemoralan. Peruntukan ini bersifat prospective dan preventive supaya tidak berlaku sebarang kekacauan yang melibatkan badan sukan ataupun pihak-pihak yang menggunakan platform atau sukan ini sebagai instrumen untuk mengganggu-gugat keharmonian dan juga keselamatan negara.
Tuan Yang di-Pertua, seterusnya yang paling penting ya, peruntukan ini bukan untuk mengawal perbezaan pandangan dalam sukan, bukan untuk campur tangan dalam autonomi badan sukan dan bukan untuk menghukum mana-mana badan sukan yang tidak sependapat dengan kerajaan. Maka dengan itu Tuan Yang di-Pertua, saya harapkan bahawa pada hari ini, RUU ini dapat diluluskan.
Dan secara keseluruhan, penggubalan RUU Pembangunan Sukan (Pindaan) 2026 merupakan satu langkah menyeluruh bagi menangani cabaran dalam pembangunan dan pengurusan sukan di Malaysia. Pindaan ini memperkenalkan penambahbaikan dalam aspek tadbir urus badan sukan, penguatkuasaan, pengurusan harta dan perlindungan integriti serta keselamatan dalam sukan.
Pindaan ini bukan bertujuan untuk mengehadkan autonomi badan sukan, sebaliknya menyediakan kerangka perundangan yang lebih jelas, kukuh, responsif bagi membantu badan sukan melaksanakan tanggungjawab masing-masing secara lebih profesional, teratur dan berakauntabiliti.
Dan yang paling penting, seiring dengan berkembangnya sukan negara dan sukan dunia, kita harap dengan lebih kemas RUU ini, maka kita akan menyaksikan bahawa kita akan melaksanakan sejarah-sejarah yang hebat dalam bidang sukan dan pencapaian di Sukan Asia baru-baru ini akan dapat diteruskan, diperhebatkan dengan adanya persatuan yang hebat, atlet yang hebat dan yang paling penting, rasa tanggungjawab antara semua pihak untuk memastikan sukan terus maju untuk negara Malaysia. Maka Tuan Yang di-Pertua, saya mohon mencadangkan. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Ada sesiapa yang menyokong?
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi - Dato' Dr. Mohammad Yusof bin Apdal
Yang di-Pertua, saya mohon menyokong.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Ahli-ahli Yang Berhormat, masalah di hadapan Majlis ialah rang undang-undang bernama suatu akta untuk meminda Akta Pembangunan Sukan 1997 dibacakan kali yang kedua sekarang dan terbuka untuk di bahas.
Senarai pembahas adalah seperti berikut. Seramai 31 pembahas: YB Tebrau; YB Alor Setar; YB Bukit Bendera; YB Kangar; YB Libaran; YB Kulim-Bandar Baharu; YB Puncak Borneo; YB Kuala Krai; YB Tenom; YB Gerik; YB Jelutong; YB Dungun; YB Putatan; YB Pasir Mas; YB Batu; YB Langkawi; YB Keningau; YB Mersing; YB Betong; YB Maran; YB Bakri; YB Kepala Batas; YB Kinabatangan; YB Rantau Panjang; YB Batu Pahat; YB Sipitang; YB Machang; YB Beruas; YB Batu Gajah; YB Arau; dan YB Kalabakan.
Setiap pembahas diberi masa lima minit sahaja. Saya jemput Yang Berhormat Tebrau.
Tuan Jimmy Puah Wee Tse - Tebrau
Terima kasih Puan Yang di-Pertua.
Saya ingin mula dengan mengucapkan tahniah kepada 32 atlet— 32 pemenang pingat termasuk sembilan emas kepada mereka yang terlibat dalam Asian Games baru-baru ini di Aichi-Nagoya.
Tuan Jimmy Puah Wee Tse - Tebrau
Bagi saya, mereka merupakan wira negara. Saya harap Dewan kita boleh sokong mereka.
[Tepuk] Puan Speaker, walaupun cemerlangnya keputusan kita di Aichi-Nagoya Asian Games ini, saya rasa kita kena balik kepada soalan. Kita kena lihat beyond daripada Asian Games, melonjak daripada Asian Games dan kita kena lihat pula kepada satu arena pool yang lagi besar.
Seperti yang kita semua maklum, sebenarnya Malaysia ini telah ambil bahagian dalam Sukan Olimpik sudah lama dah dan kita telah menghasilkan atlet bertaraf dunia dan pernah menang pingat perak, pingat gangsa tetapi sehingga hari ini, kita masih menunggu emas pertama (the elusive gold) daripada Sukan Olimpik.
Kalau kita tengok, kita mempunyai jurulatih, kemudahan bakat dan pengalaman yang secukupnya tetapi kalau kita bandinglah dengan negara-negara jiran kita ya, nampaknya prestasinya agak berlainan sedikit.
Negara Indonesia menang emas Olimpik pertamanya pada 1992 di Barcelona. Thailand, 1996. Malah, Singapura, Vietnam pula telah menang emas mereka pertama di Rio 2016. Filipina juga akhirnya menamatkan penantian mereka di Tokyo 2020 dan juga Paris 2024, Filipina juga menang dua pingat emas dalam gimnastik.
Maka, kita kena tengok negara kita sendiri. Bila kita ada kapasiti negara kita, sebenarnya mengapa kita tidak boleh membangun satu environment yang boleh kita mendapatkan pingat emas itu? Malaysia mempunyai populasi 34 juta rakyat.
Singapura sekitar 6 juta sahaja. Kita ada lima kali ganda.
Kalau dari segi ekonomi, GDP kapital Malaysia hampir USD11,874. Filipina tak sampai USD4,000 pun. Perbezaan hampir tiga kali ganda. Tetapi, Singapura, Filipina boleh menang. Kenapa kita tidak boleh menang? So, bagi saya, fokus sebenarnya untuk persatuan ataupun untuk KBS ini, kita patut meletakkan atlet dan jurulatih di tengah-tengah spektrum pembangunan sukan negara.
Mereka adalah yang berkorban, mereka yang menghabiskan bertahun-tahun menjalani latihan, merekalah yang mencurahkan keringat, tenaga dan masa, merekalah yang menanggung kecederaan dan tekanan dan merekalah akhirnya yang berdiri di atas podium untuk mengharumkan nama Malaysia.
Maka, apabila seorang atlet atau jurulatih berjaya menghasilkan prestasi, bantuan ganjaran dan sokongan mesti dapat sampai kepada mereka secara langsung. Jangan sampai bantuan yang sepatutnya membantu atlet dan jurulatih tersangkut dalam lapisan birokrasi. Maka, dalam konteks ini, saya melihat pindaan yang dibentangkan merupakan satu langkah yang positif kerana mendapat usaha untuk mengurangkan pengaruh badan sukan.
Saya menyokong usaha ini tetapi saya berharap ia tidak berhenti di sini sahaja. Kita perlu terus menambah baik mekanisme supaya dana, insentif, kemudahan dan bantuan benar-benar sampai kepada orang yang paling penting yang menghasilkan prestasi iaitu atlet dan jurulatih. They are the real people that we should be supporting. Dalam isu yang tadi, yang sudah disebut panjang lebar oleh Menteri, isu 41A ya. Saya rasa, memang sebagai Ahli-ahli Parlimen, kita juga ada kekhuatiran dan kerisauan tentang kuasa mutlak yang akan diberikan kepada pihak Menteri untuk sampai boleh batal satu persatuan.
Tetapi, dalam konteks ini, saya haraplah ya, kalau boleh kuasa ini mestilah digunakan dengan bertanggungjawab. Tidak boleh digunakan secara mutlak dan bukan sahaja kita berhenti dalam isu pembatalan. Kalau boleh, intervensi itu bukannya tentu mesti batal, mungkin dia boleh campur tangan atau masuk dalam isu-isu yang lain tetapi tidaklah sampai kena batalkan.
Dan, saya punya cadangan, kalau Menteri nak batalkan ataupun nak campur tangan intervensi, sila dapatkan pandangan daripada mereka yang benar-benar dalam arena sukan. Dapatlah contohnya Datuk Lee Chong Wei, Datuk Nicol David, mereka yang pernah dalam sukan ini supaya mereka ada pengalaman untuk memberi rujukan atau nasihat kepada Menteri sebab suka tak suka, kita mengakui merekalah atlet-atlet yang terlibat berpuluh-puluh tahun mengharumkan nama kita.
So, itulah penting Menteri. Kalau boleh, kita dapatkanlah mereka yang berpengalaman supaya sebarang keputusan yang dibuat, keutamaan itu sentiasa diberikan kepada atlet yang akhirnya yang kita cuba nak bangunkan.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Sila gulung.
Tuan Jimmy Puah Wee Tse - Tebrau
Ya, dah habis dah. So, kesimpulannya, saya memang menyokong pindaan ini dan saya melihat ia satu permulaan yang baik dan penting untuk memperbaiki ekosistem sukan negara dan saya hanya nak katakan, kita kena sentiasa memastikan sistem yang kita ada ini terus mantap dan ia tidak boleh tukar sebab Menteri tukar.
Yang penting, sistemnya kena sedia ada supaya kita pastikan yang saya nak start balik, emas pertama Olimpik itu. Kita boleh dapat secepat mungkin. Dengan itu, Tebrau menyokong rang undang-undang ini. Sekian, terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Terima kasih Yang Berhormat Tebrau. Saya jemput Yang Berhormat Alor Setar.
Tuan Afnan Hamimi bin Dato' Haji Taib Azamudden - Alor Setar
Terima kasih Puan Yang di-Pertua. Yang Berhormat Menteri, sahabat saya yang seingat saya ini kali pertama Yang Berhormat Menteri membentangkan rang undang-undang ketika Yang Berhormat Menteri menjadi Menteri Belia dan Sukan. Terima kasih, tahniah saya ucapkan.
Puan Yang di-Pertua, bercakap tentang Rang Undang-undang Pembangunan Sukan, sebenarnya yang kita kena faham dan kita kena ketahui ialah pembangunan sukan ini hakikatnya adalah pembangunan insan yang terlibat dalam sukan itu. Sukan bukan semata-mata untuk menang.
Dalam Islam, saya yakin Yang Berhormat Menteri juga tahu. Latar belakang kita pun lebih kurang sama. Bukan semata-mata sukan ini untuk menang pertandingan, nak mengejar pingat ataupun mencipta keuntungan kerana dalam kekuatan yang kita mahu dalam sukan ini bukan hanya pada kekuatan tubuh badan tetapi pada ketinggian disiplin, kekuatan mental, akhlak yang baik, integriti yang kukuh.
Sebab itu, kita tak boleh hanya bincang tentang berapa pingat yang kita menang. Ya, kita setuju kita mengejar pingat, kita mengejar ranking dunia tetapi kita tidak boleh tinggalkan manusia yang kita hasilkan melalui sistem sukan yang ada sekarang ini. Sebab itu, bila bercakap tentang manusia ini, dia berkait dengan integriti.
Penerangan Yang Berhormat Menteri tadi juga menyentuh tentang perkara- perkara ini. Soal integriti ini bukan soal teori. Contoh Yang Berhormat Menteri yang kita telah lalui dan kita bincang dalam Dewan ini sebelum ini pun tentang episod FIFA yang mengambil tindakan terhadap FAM dan tujuh pemain.
Kesalahannya ialah pemalsuan dokumen. Ini menunjukkan kita tidak ada integriti dalam bab itu. Denda RM1.7 juta yang FAM kena bayar ini, satu jumlah yang tinggi yang patut kita guna duit itu untuk kita bangunkan aspek sukan yang lain, daripada kita buang duit bayar kepada satu kesalahan yang melibatkan integriti.
Dalam badminton, kita pernah dikenakan— warga Malaysia pernah dikenakan larangan seumur hidup oleh BWF selepas didapati menawarkan wang kepada pemain antarabangsa untuk memanipulasi perlawanan. Kita pernah kena kesalahan-kesalahan itu. Sebab itu, pembangunan sukan yang kita bentang melalui rang undang-undang ini, semangatnya ialah bukan sekadar untuk membina atlet yang kuat, memperkukuh urus tadbir badan sukan tetapi untuk membina ekosistem yang berintegriti.
Penguatkuasaan sahaja tak cukup. Rang undang-undang ini menekankan tentang penguatkuasaan. Saya setuju tetapi itu tidak cukup. Integriti tidak boleh dibina dengan hukuman semata-mata tetapi integriti mesti dibina dengan manusia, dengan budaya, dengan sistem.
Puan Yang di-Pertua, dalam membicarakan pembangunan atlet, saya juga nak ambil kesempatan mewakili rakan-rakan dalam Dewan Rakyat ini, terutama di sebelah sini untuk ucap tahniah pada Dato’ Azizulhasni dan semua atlet-atlet negara yang berjaya merangkul pingat emas dalam sukan yang berlangsung di Asia Aichi- Nagoya 2026 baru-baru ini.
[Tepuk] Dalam usia 38 tahun, Dato’ Azizulhasni membuktikan disiplin, pengalaman, ketahanan mental, semangat juang mampu membawa nama kita ke peringkat ke puncak podium. Tahniah, Dato’ Azizulhasni. Tetapi, di sebalik kejayaan seorang juara ini, Yang Berhormat Speaker, ada satu perkara yang pernah dibangkitkan oleh beliau sebelum daripada ini.
Yang kita semua tahu, yang mengingatkan kita bahawasanya kita tidak boleh hanya melihat atlet ini sebagai atlet untuk sebagai aset untuk mencapai pingat. Kita juga kena ingat, atlet itu juga adalah manusia. Beliau ada keluarga, ada masa depan, perlu merancang latihan kehidupan dan akhirnya, atlet-atlet sukan ini akan bersara.
Sebab itu, dalam kesempatan rang undang-undang yang kita bahaskan ini, saya nak mencadangkan kerajaan mempertimbangkan selain daripada aspek penguatkuasaan dan apa Yang Berhormat Menteri bentangkan tadi, pertimbangkan tentang piagam hak atlet. Atlet perlu ada hak untuk dapat maklumat yang jelas.
Program apa yang dia nak kena masuk, tawaran macam mana, keputusan dalam tempoh munasabah, kebajikan, keselamatan terjamin serta saluran aduan dan penyelesaian pertikaian yang adil. Jangan biarkan atlet kita tergantung tanpa kepastian tentang masa depan.
Mengenai kelompongan dalam RUU ini, secara umumnya baik. Ada satu kelompongan ialah mengenai tentang hak atlet, apa yang saya sebutkan tadi. Yang lain, semua cantik tetapi didapati tidak ada disebut secara jelas tentang hak-hak atlet tersebut. Saya fikir, dalam tempoh Yang Berhormat Menteri masih menjadi Menteri ini, boleh dibuat penambahbaikan tersebut.
Puan Speaker, begitu juga dengan industri bola sepak yang kita sebutkan tadi. Bola sepak ini, kita setuju. Kelab-kelab ini kena jana keuntungan sebab kalau tidak ada duit, kelab-kelab ini tak boleh nak hidup, tak boleh berkembang, tak dapat macam-macam kemudahan. Tetapi, jangan sampai keuntungan itu menjadi matlamat sehingga pembangunan bakat itu diketepikan.
Kelab yang kaya boleh beli player yang dah sedia mahir tetapi siapa nak tumpu kepada player bawah 12 tahun, bawah 18 tahun? Semua ini perlu dibina.
Keuntungan tadi perlu digunakan untuk membina bakat dan poin yang kedua, terakhir Puan Speaker ialah dalam keseluruhan kerangka pembangunan sukan ini, mesti dilihat kepada atlet dalam tiga peringkat. Sebelum dia menjadi atlet, semasa menjadi atlet dan selepas menjadi atlet.
Sebelum, kita latih dia. Semasa, kita hantar dia masuk kejohanan-kejohanan.
Tetapi, selepas itu, ini ramai yang mungkin kita terlepas pandang. Ada yang terpaksa buka kedai jual mihun sup. Ada yang terpaksa jual bundle kerana sepatutnya mereka ini kita ambil balik dalam masyarakat. Dia jadi mentor, jadi jurulatih, jadi pentadbir dalam badan-badan sukan yang dicadangkan, yang disebutkan tadi untuk membina generasi seterusnya.
Akhirnya Puan Yang di-Pertua, saya landing. Kita kena bezakan antara pertandingan sukan dengan pembangunan sukan. Pertandingan, ya. Ukurannya pingat tetapi pembangunan sukan, ukuran kejayaan ialah manusia yang ada dalam sukan tersebut. Apa guna kita menang atas padang tetapi akhirnya kita kalah kerana integriti? Apa guna pingat tergantung di dada kalau maruah sukan negara tercalar kerananya?
Kita kena menang. Kita mahu ada pingat. Kita nak berdiri di atas podium yang tinggi, menang dengan prestasi, dihormati kerana integriti, dibanggakan kerana ada jati diri. Kita tidak mahu bina atlet sekadar untuk menang pertandingan tetapi kita nak bina manusia yang layak dihormati ketika menang ataupun kalah kerana pingat mungkin boleh tentukan siapa juara hari ini tetapi integriti menentukan siapa akan tetap jadi juara selepas berakhirnya pertandingan.
Terima kasih Puan Yang di-Pertua. Saya menyokong rang undang-undang ini.
[Tepuk] Terima kasih Yang Berhormat Menteri.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Terima kasih Yang Berhormat Alor Setar. Ahli-ahli Yang Berhormat, saya menangguhkan Mesyuarat sekarang dan akan bersambung semula jam 2.30 petang.
[Mesyuarat ditempohkan pada pukul 1.02 tengah hari]
[Mesyuarat disambung semula pada pukul 2.30 petang]
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
[Dato’ Sri Doris Sophia anak Brodi (Sri Aman) mempengerusikan
Mesyuarat] Dato’ Sri Doris Sophia anak Brodi - Sri Aman
Baiklah, saya ingin mempersilakan Yang Berhormat Bukit Bendera. Silakan, 5 minit Yang Berhormat.
Puan Syerleena binti Abdul Rashid - Bukit Bendera
Terima kasih Puan Yang di-Pertua. di sebalik setiap pingat, ada manusia, ada atlet yang menyerahkan tubuh dan masa mudanya kepada negara. Ada jurulatih yang memberikan puluhan tahun hidupnya untuk membentuk seorang juara, tetapi apabila sorakan berhenti, terlalu ramai daripada mereka ditinggalkan untuk menanggung kecederaan, trauma dan juga kesusahan seorang diri.
Sebab itu saya menyokong fasal 11, Rang Undang-undang Pembangunan Sukan (Pindaan) 2026 yang juga memasukkan kewajipan antarabangsa berkaitan anti-doping serta perkara mengenai sukan selamat. Namun, keselamatan tidak boleh hanya menjadi slogan yang hanya disebut selepas tragedi. Ia mesti menjadi standard yang boleh diperiksa, dikuatkuasakan dan juga dipertanggungjawabkan.
Jadi, apakah protokol kecederaan, tempoh pemulihan wajib dan juga rekod perubatan yang akan diguna pakai untuk merentas kejohanan dan juga, siapa yang akan memastikan atlet tidak dipaksa bertanding ketika cedera ataupun sebelum pulih sepenuhnya? Keselamatan juga meliputi maruah. Atlet muda berhadapan risiko gangguan seksual, buli, ugutan dan juga eksploitasi oleh mereka yang memegang kuasa terhadap pemilihan serta masa depan mereka.
Pada Oktober 2026, Mahkamah Rayuan menjatuhkan hukuman penjara terhadap bekas jurulatih boling berhubung pencabulan seorang bekas atlet SUKMA yang berusia 13 tahun ketika kejadian. Pada Ogos 2025, seorang bekas jurulatih wusyu dipenjara 13 tahun dan dikenakan 4 sebatan kerana melakukan amang seksual fizikal terhadap atlet perempuan berusia 10 tahun.
Jadi, apakah saluran bebas yang membolehkan atlet membuat aduan tanpa melalui persatuan ataupun jurulatih yang mungkin mempunyai konflik kepentingan dan juga, apakah perlindungan yang menjamin pengadu tidak digugurkan, tidak disenaraihitamkan atau dinafikan peluang mewakili negara?
Fasal 9 memberikan kuasa memanggil saksi, mendapatkan dokumen serta menjalankan penggeledahan. Kuasa ini diperlukan, tetapi kuasa tanpa latihan boleh menambah trauma. Jadi, adakah pegawai akan menerima latihan khusus untuk mengendalikan mangsa bawah umur, aduan seksual, bukti perubatan dan juga data peribadi? Juga adakah tempoh siasatan ataupun perlindungan pemberi maklumat akan ditetapkan dengan jelas?
Puan Yang di-Pertua, sukan selamat juga bermaksudkan kebajikan yang terjamin. Atlet tidak seharusnya kehilangan pendapatan apabila cedera ataupun menanggung sendiri rawatan ataupun memasuki persaraan tanpa pendidikan, kerjaya ataupun sokongan kesihatan mental. Adakah setiap atlet kebangsaan akan dilindungi melalui kontrak bertulis, insurans perubatan dan juga perlindungan sosial?
Jadi, apakah pelan peralihan yang disediakan apabila kerjaya mereka berakhir jauh lebih awal daripada pekerja biasa?
Di sini kebajikan jurulatih juga tidak boleh dipinggirkan. Saya pernah bertemu dengan Coach Nara, bekas jurulatih atlet para yang juga merupakan seorang OKU.
Beliau telah menyumbang begitu banyak, tetapi kisah akhirnya amat menyedihkan.
Seorang insan yang membantu membina orang lain, namun akhirnya, seakan-akan dilupakan. Beberapa bulan yang lalu, beliau telah meninggal dunia.
Pertemuan itu mengingati saya bahawa sumbangan dalam sukan ini tidak berakhir pada podium. Kita mempunyai sistem untuk merekod kemenangan, tetapi belum tentu mempunyai sistem untuk menjejak kebajikan mereka yang menghasilkan kemenangan itu. Penghargaan tidak sepatutnya datang sebagai ucapan takziah apabila bantuan sudah terlambat dan juga sebuah kehidupan telah berakhir.
Kita mengingati jurulatih ketika atlet menang, tetapi siapa menjaga mereka apabila kontrak tamat, kesihatan merosot ataupun nama mereka tidak lagi disebut.
Adakah kerajaan akan menjamin kontrak yang adil, caruman perlindungan sosial, rawatan, latihan berterusan serta bantuan selepas persaraan untuk jurulatih sepenuh masa dan juga sambilan?
Fasal 7 memberi ruang untuk memperkukuh perlembagaan badan sukan.
Jadi, gunakanlah kuasa itu untuk mewajibkan dasar perlindungan atlet, saluran aduan yang bebas, pengisytiharan, konflik kepentingan dan juga standard kebajikan.
Bilakah semua badan sukan akan diwajibkan mematuhinya? Apakah bantuan yang akan diberikan kepada persatuan kecil dan juga kelab akar umbi untuk melaksanakannya?
Kita jangan hanya melindungi nama baik sukan. Lindungilah manusia yang membinanya. Nilai sebenar sebuah negara sukan, bukan kepada jumlah pingat yang dipamerkan, walaupun ia mempunyai satu— orang kata, it’s a very glorious, prestigious thing, dengan izin, tetapi pada cara kita menjaga atlet, cara kita menjaga jurulatih selepas tepukan terakhir berhenti. Dengan itu, Bukit Bendera menyokong.
Dato’ Sri Doris Sophia anak Brodi - Sri Aman
Terima kasih Yang Berhormat. Seterusnya, saya ingin mempersilakan Yang Berhormat Kangar. Silakan Yang Berhormat.
Tuan Zakri bin Hassan - Kangar
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Petang ini Kangar mengambil peluang untuk berbahas berkaitan RUU Akta Pembangunan Sukan 1997.
Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan tahniah kepada Kontinjen Malaysia di Sukan Asia yang telah membawa pulang 9 pingat emas. Terima kasih juga kepada atlet baharu dari negeri Perlis, Muhammad Hafizudin Roslin yang membawa pulang pingat emas dalam sukan angkat berat di Sukan Komanwel, Glasgow 2026. Begitu juga dengan atlet Perlis yang membawa pulang 17 pingat emas dalam SUKMA Selangor baru-baru ini.
Tuan Yang di-Pertua, apa yang ingin saya jelaskan di sini adalah, ia berkaitan dengan kebolehan badan-badan sukan daripada peringkat akar umbi hingga ke peringkat paling tinggi untuk menuai kejayaan jika KBS melaksanakan tugas dengan berkesan.
Fasal 7 bertujuan memasukkan seksyen baharu 19A, 19B dan 19C ke dalam Akta 576. Saya ingin bertanya kepada Yang Berhormat Menteri, apakah mekanisme yang dicadangkan untuk memastikan semua harta ini direkodkan, dinilai dan diuruskan secara telus? Jika sesebuah badan sukan menghadapi masalah kewangan yang serius atau pertikaian kepimpinan, siapakah yang akan mempunyai kuasa untuk menentukan status harta tersebut?
Tuan Zakri bin Hassan - Kangar
Jangan sampai peralatan yang dibeli menggunakan dana kerajaan dipindahkan, dijual atau digunakan untuk kepentingan individu tanpa kawalan sewajarnya. Saya mencadangkan supaya diwujudkan inventori aset yang lengkap, rekod pemilikan yang jelas apabila berlaku pertukaran pentadbiran atau pelupusan aset.
Tuan Yang di-Pertua, saya juga ingin membangkitkan isu badan sukan yang gagal membayar yuran atau tidak memenuhi kewajipan kewangan yang ditetapkan.
Kita perlu membezakan antara badan sukan yang sengaja mengingkari kewajipan dengan badan-badan sukan yang benar-benar menghadapi masalah kewangan.
Badan-badan sukan kecil di peringkat daerah atau pun negeri mungkin tidak mempunyai pendapatan yang stabil. Ada yang bergantung kepada sumbangan orang ramai, yuran dan bantuan daripada kerajaan. Oleh itu, saya ingin bertanya kepada YB Menteri, apakah jenis yuran atau kewangan yang terpakai kepada badan sukan di bawah peruntukan ini? Adakah badan sukan akan diberikan notis bertulis dan tempoh munasabah untuk menjelaskan tunggakan dan apakah tindakan yang boleh dikenakan sekiranya kegagalan membayar itu berterusan? Dan adakah tindakan ini yang penting akan menjejaskan hak atlet untuk berlatih, bertanding dan mewakili negara?
Saya mencadangkan agar badan-badan sukan yang aktif di bawah PJS diberikan pengiktirafan dan diberi dana kepada mereka, bukannya dikenakan tindakan dan hukuman kerana merekalah yang menggerakkan pembangunan sukan di peringkat akar umbi. Badan-badan sukan kebangsaan hanya akan mendapatkan pemain-pemain dari kelab-kelab bawahan ini. Saya bagi contoh, kalau di Perlis, Kelab Sukan dan Rekreasi Kangar (KSMR) tidak mempunyai sebarang masalah dengan PJS. Berilah dukungan. Kami bukannya badan sukan yang bermotifkan keuntungan. Kami sedang membina generasi muda di Perlis sejak berbelas tahun yang lalu.
Tuan Yang di-Pertua, saya juga ingin membangkitkan berkaitan dengan program-program antarabangsa yang dijalankan oleh badan-badan sukan terutamanya di peringkat akar umbi. Jika diikutkan peraturan, semua pertandingan antarabangsa mestilah mendapat kebenaran ataupun sanction daripada PJS.
Untuk pengetahuan Yang Berhormat Menteri, pertandingan-pertandingan peringkat rendah kadang-kadang hanya melibatkan dua negeri yang bersempadan.
Contoh, Perlis dan Satun, Thailand. Ia bersifat antarabangsa, tetapi berskala kecil.
Jadi sebagai penganjur, kami penat melayan kehendak PJS.
Saya cadangkan kepada YB Menteri, untuk pertandingan bersifat sempadan, kebenaran cukup hanya untuk Pengarah Jabatan Belia dan Sukan, tak perlu PJS sebab ini hanya skala kecil. Tidak perlu daripada PJS dan soal-soal keselamatan, soal insurans, kecemasan, logistik, kami boleh uruskan dengan baik di peringkat negeri. Lagipun negeri bersempadan ini boleh berkoordinasi G2G. Contoh, Kerajaan Perlis dengan Kerajaan Satun. Jadi mohon pencerahan daripada YB Menteri.
Tuan Yang di-Pertua, satu lagi isu yang untuk saya bangkitkan adalah...
Dato’ Sri Doris Sophia anak Brodi - Sri Aman
Sila gulung Yang Berhormat.
Tuan Zakri bin Hassan - Kangar
Ya, ya nak habis dah. Perlu tindakan PJS dan penguat kuasa sukan tertinggi berkaitan dengan kebajikan atlet dan bekas- bekas atlet. Di saat keringat mereka masih muda, kita rakyat Malaysia amat berbangga dengan kemenangan-kemenangan menakjubkan, menumbangkan Thailand dalam acara sepak takraw, menumbangkan Pakistan, Korea Selatan dalam acara hoki dan kita amat berbangga dengan sukan lumba basikal, dengan Dato’ Azizulhasni Awang sebagai anchor. Jadi mereka sudah tua.
Tuan Mohd Sany bin Hamzan - Hulu Langat
Kangar. Kangar.
Tuan Zakri bin Hassan - Kangar
Mereka sudah tua. Sekejap. Apakah langkah-langkah kita untuk bantu mereka? Jadi, tolong perkasakan isu YAKEB, kebajikan atlet.
Dato’ Sri Doris Sophia anak Brodi - Sri Aman
Masa sudah tamat Yang Berhormat.
Tuan Mohd Sany bin Hamzan - Hulu Langat
Kangar, nak tanya dengan Kangar sikit. Isu Dato’ Azizulhasni Awang itu. Apa isu sebenarnya ini sebab laporan yang saya baca, Dato' ini pelumba basikal kita ini dia minta kepastian, minta jawapan daripada KBS. Apa yang dimaklumkan kepada kita ini, KBS ini lambat respons, lambat jawab ini sebab dia nak buat persiapan.
Dato’ Sri Doris Sophia anak Brodi - Sri Aman
Masa sudah tamat Yang Berhormat. Sudahlah.
Tuan Mohd Sany bin Hamzan - Hulu Langat
Dia nak buat persiapan soal untuk Sukan Olimpik tahun 2028 ini, tapi KBS ini lambat jawab. Saya nak minta sikit respons daripada Kangar isu KBS lambat jawab ini. Sepatutnya benda begini tak boleh berlaku. Kalau Menteri tak boleh jawab, ada Timbalan Menteri. Kalau Timbalan Menteri tak boleh jawab, ada KSU. Sepatutnya kena respons segera. Apa pandangan daripada Kangar?
Tuan Zakri bin Hassan - Kangar
Okey.
Tuan Mohd Sany bin Hamzan - Hulu Langat
Bukanlah marah, bukan marah. Ini bukan marah.
Tuan Zakri bin Hassan - Kangar
Bukan marah, sihat.
Dato’ Sri Doris Sophia anak Brodi - Sri Aman
Masa sudah tamat. Silakan.
Tuan Zakri bin Hassan - Kangar
Apa itu daripada— keluar dah daripada Hulu Langat apa yang disebut berkaitan dengan isu Azizulhasni bin Awang. Moga YB Menteri dapat menjawab.
Dan yang terakhir, saya ingin ucap...
Dato’ Sri Doris Sophia anak Brodi - Sri Aman
Sudahlah Yang Berhormat.
Masa dah tamat.
Tuan Zakri bin Hassan - Kangar
Last, last habis. Satu ayat, satu ayat. Saya ingin mengucapkan ucapan takziah kepada keluarga bekas pemain saya dari Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Suleiman yang kemalangan di Pulau Pinang semalam, Allahyarham Hisham bin Sapian. Sekian, saya menyokong RUU Pembangunan Sukan 1997. Terima kasih.
Dato’ Sri Doris Sophia anak Brodi - Sri Aman
Terima kasih Yang Berhormat Kangar. Seterusnya Yang Berhormat Libaran. Silakan.
Datuk Suhaimi bin Nasir - Libaran
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Saya sebenarnya menyambut baik usaha Kementerian Belia dan Sukan untuk memperkukuh Akta Pembangunan Sukan 1997 sedia ada supaya mengawal selia sukan negara lebih berkesan khususnya dari aspek tadbir urus dan penguatkuasaan dan anti-doping dan sukan selamat.
Namun, hal yang demikian apabila kita memberikan kuasa penguatkuasaan yang lebih luas kepada pegawai penguat kuasa, kita juga harus memastikan bahawa kuasa tersebut datangnya bersama-sama dengan garis sempadan, prosedur, akauntabiliti yang jelas.
Tuan Yang di-Pertua, seksyen 32A hingga 32H merupakan bahagian baru yang memperkenalkan rangka kerja, penguatkuasaan dan penyiasatan termasuk pelantikan pegawai penguat kuasa, kuasa pemeriksa, waran geledah, penyitaan dokumen serta penzahiran dokumen dan bahan.
Saya ingin menyentuh satu perkara yang pada pandangan saya memerlukan penjelasan lebih terperinci daripada pihak kementerian iaitu berhubung kuasa mengeluarkan waran geledah dan proses permohonan waran geledah di bawah seksyen 32G dan 32H. Apabila kita memberikan kuasa yang memohon dengan mendapatkan waran penggeledahan serta menjalankan penggeledahan ke atas premis, persoalannya bukan lagi sekadar sama ada kuasa itu diperlukan, akan tetapi sejauh mana kuasa tersebut boleh digunakan dan apakah garis kawalan yang perlu diwujudkan untuk mengelakkan penggunaan secara berlebihan. Sebagai perbandingan dalam kerangka penguatkuasaan, kuasa menggeledah lazimnya perlu mempunyai asas yang jelas serta mempunyai kaitan dengan kesalahan yang sedang disiasat ini.
Tuan Yang di-Pertua, saya mencadangkan agar kementerian menyediakan SOP ataupun garis permohonan dalam pelaksanaan waran geledah di bawah pindaan akta ini. Sebagai contoh, apakah alasan munasabah yang diperlukan sebelum permohonan waran dibentuk, apakah bukti awal yang perlu dikemukakan dalam permohonan, bagaimana skop penggeledahan ditentukan?
Pada masa yang sama, saya ingin mendapatkan jaminan daripada kementerian bahawa kuasa, penguatkuasaan yang diperluas itu tidak akan dilaksanakan secara sewenang-wenangnya dan tidak terkawal. Hal ini kerana kita mahu penguatkuasaan yang berkesan, tetapi pada masa yang sama kita mesti memastikan bahawa hak dan kepentingan badan sukan, atlet serta individu yang terlibat turut dilindungi.
Tuan Yang di-Pertua, selain daripada itu penambahan pelantikan pegawai penguat kuasa di bawah seksyen 32A telah menimbulkan beberapa persoalan.
Adakah pihak kementerian akan menubuhkan satu lagi agensi baru di bawah kementerian? Mengapakah kita memerlukan satu lagi lapisan penguatkuasaan?
Saya bertanya demikian kerana pada hari ini kita sudah mempunyai pelbagai agensi penguatkuasaan dan kepakaran di bidang kuasa masing-masing.
Sebagai contoh, Agensi Antidadah Kebangsaan bukan sekadar menjalankan fungsi pencegahan, rawatan dan pemulihan, tetapi turut mempunyai fungsi penguatkuasaan dan penyiasatan di bawah undang-undang berkaitan dadah.
Sebagai contoh, Akta Dadah Berbahaya 1952, Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.
Datuk Suhaimi bin Nasir - Libaran
Kita juga sedia maklum bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) pula mempunyai mandat yang luas di bawah Akta Polis 1967 turut tertakluk kepada kerangka Kanun Tatacara Jenayah.
Tuan Yang di-Pertua, saya tidak mahu berlaku keadaan di mana satu kes yang sama disiasat beberapa agensi dengan bidang kuasa yang bertindih. Di bawah cadangan seksyen 41A menambah peruntukan baharu berkaitan kuasa Menteri untuk mengisytiharkan sesebuah badan sukan sebagai menyalahi undang-undang bagi tujuan membatalkan pendaftaran mana-mana badan sukan.
Persoalan saya, mengapa keputusan yang memberikan kesan besar kepada badan sukan perlu diletakkan begitu dekat dengan kuasa politik sedangkan Pesuruhjaya Sukan ialah pihak yang menjalankan fungsi pentakbiran kawal selia Akta 576, mengapa pindaan ini memperluaskan ruang keputusan Menteri terhadap badan sukan.
Peranan Menteri seharusnya adalah untuk menentukan dasar dan hala tuju pembangunan sukan manakala pelaksanaan dan penyelarasan akta dilaksanakan melalui Pesuruhjaya Sukan. Dengan penjelasan yang jelas terperinci dari pihak kementerian, saya percaya Dewan dapat menilai rang undang-undang ini dan menyokong usaha bagi memperkukuhkan sistem pembangunan sukan negara.
Sekian, terima kasih.
Dato’ Sri Doris Sophia anak Brodi - Sri Aman
Terima kasih Yang Berhormat Libaran. Sekarang menjemput Yang Berhormat Kulim-Bandar Baharu.
Silakan Yang Berhormat.
Tuan Roslan bin Hashim - Kulim-Bandar Baharu
Baik. Assalamualaikum. Terima kasih kepada Tuan Yang di-Pertua kerana memberi saya peluang untuk sama berbahas dalam Rang Undang-undang Pembangunan Sukan (Pindaan) 2026.
Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada KBS atas beberapa pencapaian yang membanggakan pada tahun ini.
Pada prinsipnya, saya menyambut baik usaha Kementerian Belia dan Sukan untuk mengemas kini RUU yang lebih menjadi pasak kepada pembangunan dan pentakbiran sukan negara sejak tahun 1998. Keperluan untuk mempunyai kerangka perundangan yang lebih relevan, responsif dan berkesan sememangnya wajar khususnya apabila landskap sukan negara hari ini semakin kompleks.
Namun begitu, pada hemat saya ukuran sebenar kejayaan pindaan ini bukan sekadar berapa banyak kuasa baharu yang diberikan kepada Pesuruhjaya Sukan
(PJS) atau kementerian, tetapi tentang bagaimana pindaan ini pada akhirnya menjadi pengurusan badan sukan yang lebih telus, wang awam lebih terjamin, atlet lebih dilindungi dan pembangunan sukan di peringkat negeri serta akar umbi lebih tersusun.
Sehubungan itu saya terus kepada persoalan saya. Pertama iaitu berkaitan dengan kuasa Pesuruhjaya Sukan dan autonomi badan sukan. Pindaan ini telah memberi kuasa kepada PJS untuk mengeluarkan arahan bertulis kepada badan sukan berdaftar supaya meminda perlembagaannya. Perubahan nama, tempat urusan dan kaedah badan-badan sukan juga memerlukan kelulusan PJS.
Kita mahu memastikan perlembagaan badan sukan selaras dengan akta dan peraturan yang berkuat kuasa, tetapi persoalannya di manakah garis pemisah antara kawal selia dengan autonomi badan sukan? Sebagai contoh kita mempunyai badan sukan kebangsaan yang menguruskan atlet, jurulatih, pertandingan dan pemilihan wakil negara manakala di peringkat negeri pula terdapat persatuan dan majlis sukan negeri yang mempunyai struktur pentadbiran tersendiri.
Sekiranya berlaku pertikaian mengenai perlembagaan, pemilihan jawatankuasa atau struktur pengurusan, apakah kriteria yang akan digunakan oleh PJS untuk menentukan bahawa sesuatu pindaan itu perlu diarahkan? Adakah kementerian berhasrat menyediakan garis panduan yang jelas dan seragam mengenai bilakah kuasa tersebut boleh digunakan serta mekanisme rayuan bagi badan sukan yang tidak bersetuju dengan arahan PJS?
Kedua, apakah yang akan berlaku kepada aset dan hutang apabila badan sukan tersebut dibatalkan? Pindaan ini cuba menyelesaikan satu persoalan yang selama ini penting, tetapi tidak cukup jelas iaitu status harta atau aset badan sukan selepas pendaftarannya dibatalkan.
Cadangan baharu melibatkan pindaan hak milik harta, hutang dan liabiliti kepada badan sukan baharu serta peranan Ketua Pengarah Insolvensi dalam pengurusan harta tertentu. Saya melihat ini sebagai perkara yang sangat penting kerana badan sukan juga menguruskan wang awam, geran kerajaan dan aset yang dibangunkan menggunakan dana awam.
Persoalannya siapakah yang akan dipertanggungjawabkan dalam memastikan aset yang dibeli menggunakan wang rakyat tidak hilang, dipindahkan secara tidak wajar atau menjadi rebutan antara pengurusan lama dan pengurusan baharu. Lebih penting lagi sekiranya badan tersebut mempunyai hutang kepada pembekal, tuntutan pekerja atau komitmen kewangan yang lain.
Saya berharap kementerian dapat menjelaskan sama ada akan wujud inventori aset, penyata kewangan yang diaudit dan proses penilaian liabiliti yang wajib sebelum sesuatu pemindahan dibuat. Persoalan saya yang seterusnya adalah, adakah badan sukan yang menerima geran awam akan dipertanggungjawabkan secara lebih ketat. Kita perlu mengakui bahawa takbir urus sukan bukan hanya mengenai prestasi di padang, ia juga mengenai wang, akauntabiliti dan kepercayaan.
Badan sukan kebangsaan boleh menguruskan jumlah dana yang besar daripada pelbagai sumber termasuk geran kerajaan, tajaan korporat, yuran, hasil pertandingan, sumbangan dan pelbagai lagi.
Jadi saya ingin bertanya adakah pindaan ini akan mewujudkan pendekatan pemantauan yang berbeza antara badan sukan yang menggunakan sepenuhnya dana persendirian dengan badan sukan yang menerima sejumlah besar wang awam.
Sebagai contoh jika sebuah badan sukan menerima geran kerajaan tetapi gagal mengemukakan penyata kewangan, mempunyai kelemahan kawalan dalaman atau gagal menjelaskan penggunaan geran, apakah tindakan susulan yang akan dikenakan atau adakah terdapat mekanisme pemulihan yang kebertanggungjawaban yang lebih jelas.
Saya juga mencadangkan semua badan sukan dikenakan birokrasi yang berlebihan, tetapi semakin besar penggunaan wang rakyat semakin tinggi tahap akauntabiliti yang sewajarnya dikenakan. Persoalannya, akan saya ingin― saya mungkin juga― juga penting, apakah hasil akhirnya kita mahu daripada pindaan ini.
Kita sedang memberi kuasa yang lebih kepada PJS, memperkukuhkan penyeliaan, memperkenalkan kuasa penyiasatan, memperkemaskan pengurusan aset serta memperkukuh...
Dato’ Sri Doris Sophia anak Brodi - Sri Aman
Masa sudah sampai Yang Berhormat.
Tuan Roslan bin Hashim - Kulim-Bandar Baharu
Ya.
Dato’ Sri Doris Sophia anak Brodi - Sri Aman
Masa sudah tamat. Gulung ya.
Tuan Roslan bin Hashim - Kulim-Bandar Baharu
Last, last. Serta memperkukuhkan kerangka anti-doping dan sukan selamat, tetapi lima tahun akta ini berkuat kuasa, bagaimana kita mahu menentukan bahawa pindaan ini benar- benar berjaya. Okey. Dengan itu, saya ingin menyokong pindaan RUU ini. Sekian, terima kasih.
Dato’ Sri Doris Sophia anak Brodi - Sri Aman
Terima kasih Yang Berhormat. Seterusnya, menjemput Yang Berhormat Puncak Borneo. Silakan Yang Berhormat.
Datuk Willie anak Mongin - Puncak Borneo
Terima kasih Dato’ Seri Speaker. Saya ucap terima kasih juga kerana YB Menteri Belia dan Sukan tekun mendengar pembahas-pembahas.
Saya bangun untuk menyokong secara prinsip RUU Pembangunan Sukan
(Pindaan) 2026 kerana saya percaya ekosistem sukan negara memerlukan tadbir urus yang lebih baik, telus dan berkesan. Namun, saya ingin bangkitkan tiga perkara utama iaitu pertama mengenai soal kuasa Menteri untuk mengisytiharkan atau membatalkan pendaftaran sesuatu badan sukan. Dan seperti mana yang kita tahu badan sukan ini merangkumi badan sukan kebangsaan dan juga di peringkat negeri kita ada Persatuan Olahraga Sarawak dan sebagainya.
Dan saya faham kerajaan perlu mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan terhadap persatuan yang melakukan kesalahan serius tetapi kita mesti memastikan sempadan kuasa yang jelas antara Menteri, Pesuruhjaya Sukan dan juga pendaftar pertubuhan ataupun ROS, jangan berlaku pertindihan kuasa terhadap entiti yang sama. RUU ini wajar memperjelaskan siapa mempunyai kuasa akhir, proses siasatan, hak untuk didengar dan mekanisme rayuan. Kita mahu penguatkuasaan yang tegas tetapi mesti disertai dengan due process dengan izin, keadilan dan tadbir urus yang baik.
Dan yang kedua, saya juga ingin utarakan di mana isu had umur atlet Para SUKMA. Pada pandangan saya, umur sepatutnya tidak seharusnya menjadi satu- satunya ukuran untuk kelayakan atlet. Jika seorang atlet itu berumur 45 tahun, 46 tahun ataupun 50 tahun, kalau dia masih sihat, memenuhi klasifikasi tahap kecerdasan dan standard prestasi yang ditetapkan, mengapa tidak diberi peluang untuk terus bertanding?
Datuk Willie anak Mongin - Puncak Borneo
Dan saya mencadangkan supaya kelayakan atlet Para SUKMA lebih berasaskan kepada prestasi kesihatan dan juga klasifikasi bukan umur semata-mata.
Kerana kalau dia masih boleh bertanding, dia masih boleh menang, dia masih boleh mendapat pingat emas, why should we limit them? Dia ada potensi kita bagi ruang dan itu yang saya nak lihat. Dan atlet senior pun mempunyai pengalaman yang amat bernilai yang boleh menjadi mentor kepada atlet generasi muda kita dalam Para SUKMA ini.
Dan ketiga Dato’ Sri di-Pertua, isu ujian anti-doping dan pengurusan sampel atlet kita di Malaysia ini. Malaysia masih bergantung kepada makmal anti-doping yang diakreditasikan oleh WADA. Saya faham keperluan mematuhi standard WADA, tetapi kita perlu melihat aspek keselamatan logistik, tempoh penghantaran, kawalan sampel dan juga chain of custody dengan izin.
Maka dengan itu, saya mencadangkan kerajaan mengkaji penubuhan National Doping Control Laboratory di Malaysia yang memenuhi piawaian yang dapat akreditasi WADA. Sementara itu kita boleh mewujudkan pusat pengumpulan dan penyimpanan sampel berkeselamatan tinggi dengan tamper evidence sealing, CCTV, kawalan akses dan rekod digital chain of custody ini dengan izin, sebelum sampel ini dihantar kepada luar negara.
Sebab sekarang ini kemungkinan besar kita tidak tahu sama ada dalam perjalanan sampel itu di tamper ataupun sebagainya, tidak ada keyakinan. Dan saya harap ini adalah amat penting kerana apa saja pun boleh berlaku untuk sabotaj atlet tersebut ataupun disebabkan oleh sebab tertentu.
Jadi oleh itu Dato’ Sri Yang di-Pertua, tiga perkara ini mempunyai satu matlamat yang sama untuk memastikan sukan Malaysia bukan sahaja berprestasi tinggi, tetapi juga adil, inklusif, telus dan mempunyai integriti. Kita mahu persatuan ditadbirkan dengan baik, atlet tidak dinafikan peluang hanya kerana umur dan sampel doping pula dijamin keselamatannya dari gelanggang-gelanggang sehingga ke makmal.
Dengan itu saya menyokong RUU ini secara berprinsip dan berharap ketiga- tiga perkara ini diberi perhatian serius oleh kerajaan dan juga Kementerian Belia dan Sukan. Sekian, terima kasih.
Dato’ Sri Doris Sophia anak Brodi - Sri Aman
Terima kasih Yang Berhormat Puncak Borneo. Seterusnya saya menjemput Yang Berhormat Kuala Krai. Silakan Yang Berhormat.
Tuan Haji Abdul Latiff bin Abdul Rahman - Kuala Krai
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua kerana memberi kesempatan kepada Kuala Krai untuk turut sama dalam perbahasan Rang Undang-undang Pembangunan Sukan (Pindaan) 2026.
Kuala Krai mengambil kesempatan untuk mengucapkan tahniah kepada kontinjen Kelantan yang berjaya meraih 36 pingat keseluruhan 14 emas, 6 perak dan 16 gangsa pada SUKMA Selangor 2026.
Tuan Yang di-Pertua, RUU ini memperkenalkan pelbagai mekanisme penguatkuasaan yang lebih luas. Antaranya kuasa penyiasatan, pemeriksaan dokumen, penyitaan, permohonan waran geledah serta kuasa tertentu berkaitan pembatalan pendaftaran badan sukan.
Seksyen baharu 32A hingga 32H misalnya memberikan kerangka penguatkuasaan dan penyiasatan yang lebih menyeluruh. Seksyen 19B pula memberikan kuasa kepada Pesuruhjaya untuk mengarahkan badan sukan meminda perlembagaan atau kaedah-kaedahnya. Manakala seksyen 19C menjadikan beberapa ketidakpatuhan sebagai satu kesalahan. Saya tidak mempertikaikan prinsip penguatkuasaan tersebut, tetapi persoalannya ialah, di manakah tangan kerajaan yang membantu kelab akar umbi supaya mereka mampu mematuhi semua kehendak ini. Inilah kebimbangan saya.
Tuan Yang di-Pertua, kita perlu melihat realiti sukan di bawah sana. Sukan di negara kita ini bukan hanya persatuan kebangsaan. Sukan di Malaysia bermula di padang kampung seperti di Kuala Krai, gelanggang sekolah, padang daerah dan kelab kecil yang dibina atas semangat sukarela.
Biasanya kelab-kelab sukan ini diuruskan secara sukarela bermula dari pengurus, setiausaha, bendahari. Ada yang bekerja pada siang hari dan menguruskan kelab pada waktu malam dengan sumber kewangan yang sangat terhad. Dan ada kelab yang mempunyai bakat-bakat muda yang hebat, tetapi wang untuk menguruskan kelab tidak mencukupi.
Maka saya cadangkan kementerian memperkenalkan suatu perkara yang sangat mudah tetapi besar kesannya iaitu geran pentadbiran kelab aktif. Yang Berhormat Menteri, saya mencadangkan supaya diwujudkan geran kecil tahunan khusus untuk kelab sukan yang berdaftar dan patuh kepada Akta 576.
Prinsipnya mudah, yang ingkar dikuatkuasakan manakala yang patuh diberikan insentif. Jangan hanya kita mempunyai tongkat untuk menghukum, kita juga mesti mempunyai tangan untuk membantu. Kelab yang menghantar MYKB dalam tempoh ditetapkan, mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan, mengemukakan laporan aktiviti dan memastikan perlembagaannya selaras dengan akta dan peraturan wajar diberikan insentif. Ini bukan hadiah, ini pelaburan untuk tadbir urus.
Dana tersebut boleh digunakan untuk membayar yuran gabungan, insurans pemain, membeli peralatan asas, pengangkutan ke pertandingan dan kos pentadbiran.
Selain itu, satu sistem penarafan kelab atau star rating boleh diwujudkan terhadap kelab yang aktif dan lengkap dari segi tadbir urus diberikan penarafan tertentu dan nilai geran disesuaikan mengikut tahap keaktifan serta pematuhan. Kita sudah mempunyai contoh bahawa apabila organisasi akar umbi diberikan sokongan pentadbiran yang konsisten, ia mampu berkembang dengan lebih tersusun. Saya mengambil contoh Majlis Belia yang menerima sokongan dan dana pentadbiran melalui Majlis Belia Malaysia.
Tuan Yang di-Pertua, pada hari ini memang terdapat beberapa bentuk bantuan kerajaan tetapi sebahagiannya tidak benar-benar menyelesaikan masalah pentadbiran harian kelab. Ia lebih tertumpu pada program sukan. Kelab perlu memohon dan bersaing dengan kelab-kelab lain di peringkat negeri.
Dalam setahun pula permohonan tertentu— permohonan tertakluk kepada butiran, tertakluk kepada kitaran tertentu dan jumlah maksimum program yang boleh dipohon. Tanpa pentadbiran yang kukuh, program hanya boleh hidup untuk sehari atau dua hari, tetapi kelab boleh hidup sepanjang tahun.
Lebih mencabar ialah Geran Padanan Sukan. Jika nilai program bagi satu permohonan mesti mencapai sekurang-kurangnya RM50,000 dan bayaran pula dibuat melalui tuntutan balik atau reimbursement, apakah yang berlaku kepada kelab kampung yang tidak mempunyai aliran tunai? Kelab diminta berbelanja dahulu kemudian tuntut sedangkan kelab itu sendiri mungkin tidak mempunyai jumlah RM50,000 untuk mendahulukan kos program. Lebih-lebih lagi apabila terdapat syarat bahawa kelab perlu mempunyai sekurang-kurangnya RM10,000 dalam akaun.
Kementerian tidak boleh merangka skim bantuan seolah-olah semua kelab mempunyai kekuatan kewangan yang sama. Kelab profesional tidak sama dengan kelab kampung. Kelab negeri tidak sama dengan kelab daerah, kelab yang mempunyai penaja korporat tidak sama dengan kelab yang dikendalikan oleh guru, pesara, belia dan sukarelawan kampung. Maka mekanisme bantuan juga tidak boleh disamaratakan.
Tuan Yang di-Pertua, poin terakhir saya ialah saya merujuk kepada seksyen 25B. Saya ingin mencadangkan supaya pendaftaran kelab baharu dipermudahkan.
Kita mahu lebih banyak anak muda menyertai sukan tetapi jangan sampai seorang anak muda yang mahu menubuhkan kelab sukan terpaksa berhadapan dengan proses pentadbiran yang terlalu rumit sehingga akhirnya mereka mengalah sebelum kelab itu sempat bermula.
Saya mencadangkan tiga pembaharuan. Pertama ialah sediakan perlembagaan model yang telah diluluskan dan boleh dijadikan contoh oleh kelab baharu.
Yang kedua jika terdapat query terhadap permohonan, semua query hendaklah dikumpulkan dan dikeluarkan secara menyeluruh sekali gus, bukannya sedikit-sedikit sehingga pemohon terpaksa berulang kali membetulkan permohonan.
Yang ketiga, wujudkan piagam pelanggan dengan tempoh pemprosesan dan kelulusan yang jelas. Kalau dokumen lengkap berapa hari, kalau ada query berapa hari, kalau pemohon telah menjawab query berapa hari lagi. Kementerian mesti memberikan kepastian kerana birokrasi yang tidak mempunyai tempoh masa akan menjadi beban yang tidak berkesudahan.
Yang akhir Yang di-Pertua, saya mencadangkan satu pendekatan yang lebih seimbang iaitu penguatkuasaan bersama pemerkasaan. Inilah keadilan dalam tadbir urus. Saya percaya masa depan sukan negara tidak bermula di stadium besar. Ia bermula di padang yang kecil, ia bermula dengan seorang jurulatih sukarela. Jangan kita matikan semangat itu dengan birokrasi. Jangan kita bebani mereka dengan undang-undang tanpa kemampuan sebaliknya jadikan undang-undang ini sebagai jambatan untuk membawa kelab akar umbi daripada pengurusan secara sukarela kepada pengurusan yang lebih profesional. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Dato’ Sri Doris Sophia anak Brodi - Sri Aman
Terima kasih Kuala Krai.
Seterusnya menjemput Yang Berhormat Tenom. Silakan Yang Berhormat.
Tuan Riduan bin Rubin - Tenom
Tuan Yang di-Pertua, terima kasih kerana memberikan ruang kepada Tenom untuk mengambil bahagian dalam perbahasan Rang Undang-undang Pembangunan Sukan (Pindaan) 2026.
Tenom menyokong usaha kerajaan memperkemaskan Akta Pembangunan Sukan 1997 termasuk pengukuhan kuasa Pesuruhjaya Sukan, pengurusan harta dan liabiliti badan sukan serta aspek penguatkuasaan. Namun semak dan imbang serta tatacara yang adil perlu dipelihara.
Namun demikian, persoalan yang lebih besar perlu diberikan pada perhatian iaitu adakah sistem pembangunan sukan negara benar-benar memberikan peluang yang sama kepada bakat di luar bandar dan pedalaman.
Tuan Riduan bin Rubin - Tenom
Seorang anak di Tenom mungkin mempunyai bakat yang setanding dengan anak di Kuala Lumpur. Namun, mereka tidak bermula dengan garisan yang sama.
Kekangan, jarak, kos logistik, ketiadaan kemudahan dan akses yang terhad kepada jurulatih meletakkan mereka dalam kerugian.
Tuan Yang di-Pertua, isu kritikal di Malaysia adalah kebocoran bakat. Kita mempunyai ramai atlet muda yang cemerlang pada usia hingga — pada usia dari 15 sehinggalah 17 tahun. Malangnya sebahagian besar daripada mereka hilang daripada radar sukan selepas tamat persekolahan kerana tiada sistem penjejakan digital yang berterusan.
Kita gagal mengekalkan mereka apabila mereka mula berpindah, melanjutkan pelajaran atau bekerja. Masalah ini diburukkan lagi dengan ketidaksetaraan kos. Kos untuk menjadi atlet berbakat di pedalaman adalah terlalu mahal. Misalnya, peruntukkan RM100,000 untuk program sukan di bandar tidak mempunyai nilai operasi yang sama dengan RM100,000 di pedalaman. Kerana sebahagian besar dana di luar bandar habis ditelan kos pengangkutan dan logistik sebelum atlet sempat menjejakkan kaki ke gelanggang.
Tuan Yang di-Pertua, sebagai perbandingan Australia, menggunakan kerangka FTEM iaitu Foundations Talent Elite Mastery yang menyediakan laluan pembangunan atlet berstruktur dari peringkat asas sehinggalah pasca sekolah.
Mereka turut menubuhkan akademi sukan serantau bagi membawa sokongan sains sukan dan kejurulatihan terus ke wilayah-wilayah luas bandar.
Jepun pula berjaya membina ekosistem melalui konsep Comprehensive Community Sports Club. Mereka tidak membina facility baharu secara berskala besar, sebaliknya mengoptimumkan kemudahan sedia ada seperti padang dan dewan sekolah melalui penyelarasan pintar antara komuniti, kelab tempatan dan institusi pendidikan. Manakala di United Kingdom, Sport England secara proaktif menangani isu jurang kewangan dengan menyediakan bantuan khusus untuk kos perjalanan dan penginapan bagi memastikan kekangan wang tidak mematahkan impian atlet muda berbakat dari kawasan luar bandar untuk ke peringkat pertandingan yang lebih tinggi.
Tuan Yang di-Pertua, mengambil iktibar daripada penanda aras antarabangsa ini, saya memohon agar pihak kementerian untuk beralih daripada pendekatan pasif kepada mekanisme intervensi melalui lima cadangan pelaksanaan berikut iaitu pertama, mewujudkan pasport pembangunan atlet secara digital. Sistem ini akan merekodkan data prestasi, profil kesihatan dan perkembangan atlet secara berpusat dari peringkat sekolah, daerah, negeri hinggalah kebangsaan bagi menyekat isu kebocoran bakat pasca sekolah.
Kedua, melaksanakan formula pelarasan kos pedalaman dalam agihan dana pembiayaan sukan KBS. Peruntukan sukan ke kawasan pedalaman mesti disesuaikan mengikut faktor geografi, accessibility dan kos logistik sebenar serta bukannya secara agihan rata.
Ketiga, menubuhkan dana mobiliti atlet pedalaman. Dana khusus ini wajib diwujudkan bagi membiayai kos pengangkutan, logistik, penginapan dan yuran penyertaan pertandingan luar daerah bagi atlet muda berpotensi tinggi yang kurang berkemampuan.
Keempat, mewujudkan skim jurulatih bergerak pedalaman. Melalui skim ini jurulatih bertauliah dan pakar sains sukan akan digerakkan mengikut zon dan jadual berkala ke kawasan luar bandar. Jika atlet pedalaman sukar datang kepada sistem, sistem sukan negara ia mesti bergerak mendekati atlet.
Kelima, menubuhkan hab sukan pedalaman Malaysia sebagai projek rintis di Sabah dan Sarawak. Hab ini akan bertindak sebagai pusat cluster latihan dengan mengoptimumkan prasarana sedia ada milik sekolah dan dewan komuniti tanpa melibatkan kos pembinaan projek mega baharu.
Tuan Yang di-Pertua, Tenom juga mencadangkan Kementerian Belia dan Sukan mengkaji semula syarat penyediaan kemudahan sukan berskala kecil di kampung-kampung yang mewajibkan permohonan tapak diserahkan kepada Pesuruhjaya Tanah Persekutuan sebelum permohonan dapat diluluskan. Bagi Tenom, syarat ini wajar dikenakan untuk kompleks sukan atau projek berskala besar.
Dato’ Sri Doris Sophia anak Brodi
Masa sudah tamat Yang Berhormat, tolong ya.
Tuan Riduan bin Rubin
Sikit lagi Tuan Yang di-Pertua, tetapi tidak seharusnya membebankan pembinaan gelanggang kecil di kampung. Kementerian perlu menyediakan mekanisme yang lebih fleksibel serta kemudahan sukan akar umbi dapat dilaksanakan dengan lebih cepat.
Tuan Yang di-Pertua, bakat sukan tidak mengenal latar belakang geografi. Kejayaan melahirkan pemenang pingat emas Olimpik atau jaguh sukan dunia masa hadapan bermula dengan keadilan ekosistem yang kita bina hari ini. Moga lebih ramai atlet seperti Andre Anura Anuar anak kelahiran Tenom yang berjaya mengharumkan nama negara dapat dilahirkan.
Oleh itu, saya menuntut komitmen daripada KBS untuk memberikan perhatian terhadap cadangan yang telah dikemukakan oleh Tenom bagi memastikan hasrat membangunkan aspek sukan negara bersifat holistik. Akhir kata, Tenom mohon menyokong.
Sekian, terima kasih.
Dato’ Sri Doris Sophia anak Brodi
Terima kasih Yang Berhormat Tenom.
Sekarang menjemput Yang Berhormat Gerik. Silakan Yang Berhormat.
Tuan Fathul Huzir bin Ayob - Gerik
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan tahniah kepada Menteri, sahabat kita Menteri Belia dan Sukan dan juga atlet-atlet kebangsaan yang telah berjaya mengharumkan nama Malaysia di sukan Asia Aichi-Nagoya di Jepun 2026. Dan juga tahniah di atas penganjuran F1 Bahrain di Sepang baru-baru ini.
Jadi saya bangun untuk mengambil bahagian dalam perbahasan Rang Undang- undang Pembangunan Sukan (Pindaan) 2026. Pada prinsipnya, saya menyokong usaha kerajaan untuk memperkukuh Akta Pembangunan Sukan 1997 ini khususnya dalam aspek penguatkuasaan, tadbir urus badan sukan, integriti, anti-doping dan keselamatan dalam sukan. Namun, apabila kita memberi kuasa yang lebih besar kepada kerajaan dan pegawai penguat kuasa, maka mekanisme akauntabiliti dan semak imbang juga mesti diperkukuhkan.
Pertamanya, saya ingin menyentuh seksyen 41(A). Seksyen baharu ini memberi kuasa kepada Menteri selepas berunding dengan pesuruhjaya untuk mengisytihar sesebuah badan sukan sebagai tidak sah sekiranya badan sukan tersebut digunakan bagi maksud yang memudaratkan atau bertentangan dengan keselamatan negara, ketenteraman awam atau kemoralan.
Jadi, saya faham peruntukan ini. Namun jika ada badan sukan yang benar-benar menjadi ancaman kepada keselamatan negara adalah wajar untuk kerajaan bertindak, tetapi saya ingin mengingatkan bahawa isu keselamatan, ketenteraman awam dan juga kemoralan adalah satu perkara yang sangat luas.
Justeru, saya mencadangkan supaya pelaksanaan seksyen ini dibuat secara bukti dan fakta dan perimeter yang lebih jelas. Dan bukannya dibuat berdasarkan tafsiran yang subjektif sahaja. Lebih penting apabila [Tidak jelas] Dibuat, pendaftaran badan sukan itu akan terus terbatal. Jadi saya ingin mendapatkan jaminan daripada Menteri. Apakah garis panduan dan prosedur yang akan digunakan sebelum kuat kuasa ini dilaksanakan?
Keduanya berkaitan kuasa penguatkuasaan dan penyiasatan. Rang undang-undang ini memperkenalkan satu bahagian baharu berkaitan penguatkuasaan dan penyiasatan.
Antaranya, pegawai penguat kuasa diberi kuasa untuk menggeledah, menyita dan sebagainya. Namun, saya tidak menolak keperluan kuasa tersebut, tetapi kita mesti memastikan bahawa penguatkuasaan tersebut dibuat secara tegas, profesional dan tidak sewenang-wenangnya.
Saya juga mencadangkan sebagai SOP penguatkuasaan yang jelas termasuk tatacara penyimpanan dokumen yang disita, tempoh penahanan dokumen, rekod tindakan pegawai serta mekanisme aduan sekiranya berlaku penyalahgunaan kuasa. Ini penting kerana badan-badan sukan bukan semuanya organisasi besar. Ada persatuan sukan negeri, daerah dan kelab-kelab kecil yang di kendali oleh sukarelawan. Jangan sampai penguatkuasaan yang kita bina untuk membanteras salah laku akhirnya menjadi beban dan mereka yang menjalankan aktiviti sukan secara jujur dan sukarela.
Yang ketiganya, saya ingin membawa suara akar umbi dan luar bandar. Kita selalu bercakap mengenai atlet kebangsaan, stadium besar, kejohanan antarabangsa dan pingat, tetapi sebelum seorang atlet menjadi juara negara, ia bermula di padang sekolah. Ia bermula di gelanggang-gelanggang kampung dan taman, kelab daerah dan pertandingan peringkat akar umbi. Di kawasan kami seperti Gerik, Pengkalan Hulu dan Hulu Perak kita mempunyai anak-anak muda yang berbakat dalam bola sepak, olahraga, badminton, memanah, sepak takraw, silat dan sebagainya.
Tuan Fathul Huzir bin Ayob - Gerik
Masalah mereka bukanlah bakat semata-mata. Masalah utama adalah kemudahan, jurulatih, pengangkutan dan kos untuk menyertai pertandingan-pertandingan besar di ibu negeri dan pusat bandar. Sebab itu saya berharap pindaan akta ini bukan hanya dilihat sebagai akta untuk mengawal badan sukan, tetapi perlu juga instrumen untuk membangunkan sukan negara secara keseluruhan.
Mengambil kesempatan ini juga, Gerik ingin memberi sedikit cadangan kepada Kementerian Belia dan Sukan berkenaan satu lagi perkara. Selaras dengan pindaan Akta Pembangunan Sukan ini, Gerik ingin menyeru supaya pihak Kementerian Belia dan Sukan juga melihat kepada pembangunan industri sukan dan jenama sukan khususnya dalam industri pakaian dan kelengkapan sukan.
Saya mencadangkan supaya dalam penganjuran program sukan di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa, kita mewujudkan satu dasar supaya menggalakkan penggunaan jenama Malaysia. Kita boleh melihat contoh seperti negara Thailand yang mempunyai pelbagai jenama sukan tempatan seperti MBT, WARRIX dan sebagainya— Grand Sport, Pan dan sebagainya ya. Dan bukan sahaja digunakan dalam pasaran domestik, malah antarabangsa. Malah, turut mendapat tempat dalam pertandingan dan pasukan kebangsaan mereka sendiri.
Jadi, di Malaysia juga kita ada banyak usahawan dan jenama tempatan. Antara yang terbesar adalah Al-Ikhsan, seperti jenama AL dan ALX. Kemudian kita ada FreeTech, KAKIJERSI, ULTRON, ABSTRAX, Voltra, Cobra dan banyak lagi yang kalau kita bantu penggunaan jenama Malaysia, dia berpotensi mengurangkan kos bekalan kepada pakaian sukan dan juga kos yang lebih berpatutan. Pasukan atlet kebangsaan akan dapat salinan pakaian sukan yang lebih banyak.
Ini bukan soal penampilan semata-mata, ia— banyaknya pakaian ini memberi, membantu dalam aspek kebersihan, membantu dalam aspek keselesaan dan kesihatan pemain terutama dalam kejohanan yang berjangka masa panjang. Pada masa yang sama, apabila atlet diberikan pakaian yang mencukupi dan berkualiti, ya saya percaya beliau boleh membentuk satu identiti Malaysia dan meningkatkan moral dan keyakinan semangat juang para atlet kita. Jadi sekian sahaja daripada saya, saya mohon menyokong.
Dato’ Sri Doris Sophia anak Brodi
Terima kasih Yang Berhormat Gerik. Sekarang menjemput Yang Berhormat Jelutong. Silakan Yang Berhormat.
Tuan Sanisvara Nethaji Rayer a/l Rajaji - Jelutong
Terima kasih Yang di-Pertua.
Saya bangun untuk turut serta dalam perbahasan ini. Saya pertamanya ingin memberi— mengucapkan terima kasih dan memuji kerajaan dan kementerian di atas pencapaian luar biasa dalam Sukan Asia di mana atlet-atlet Malaysia dapat mengharumkan nama dan berjaya merangkul lebih kurang 9 emas, 7 perak dan 16 gangsa.
[Tepuk] Kita beri ucapan terima kasih kepada kementerian dan kerajaan dan juga kepada Menteri. Menteri yang ada sekarang dan Menteri sebelum ini juga yang telah menghasilkan kejayaan luar biasa. Tahniah juga di atas penganjuran Formula 1, perlumbaan Formula 1 yang tidak ada apa-apa insiden. Kita lihat bahawa Yang Berhormat Perdana Menteri dan juga kerabat diraja telah bersama-sama menyaksikan dengan rancak perlumbaan Formula 1. Kita memberi kepujian kepada kerajaan.
Pada masa yang sama, saya juga ingin menegur. Undang-undang yang digubal ini bagus, baik. Dan kalau dalam suatu masa dahulu kita masih lagi ingat, pemain-pemain bola sepak Malaysia yang mengharumkan nama— kalau katakan kita katakan Melayu, Mokhtar Dahari, Shukor Salleh, Dollah Salleh, Zainal Abidin. India, kita ada Arumugam, Santokh Singh, Sanbagamaran, Jayakanthan. Kalau Cina, kita ada Soh Chin Ann, James Wong.
Sekarang kita hanya lihat— saya tak tahu pun siapa penama-penama pemain bola sepak untuk Malaysia. Kenapa, sampai bila kita kena tunggu sebelum kita dapat mencungkil bakat baru? When will— how long do we have to wait for a new Mokhtar Dahari? How long do we have to wait for new Arumugam, Santokh Singh, James Wong, Soh Chin Ann? Jadi, saya juga pada masa yang sama ingin menegur kerajaan di mana baru-baru ini FAM terpalit dengan isu pemalsuan dokumen melibatkan pemain-pemain daripada luar negara dan insiden ini telah membawa satu kontroversi yang besar. So, akibatnya Malaysia terpaksa menanggung pelbagai keputusan yang diambil oleh badan-badan sukan luar negara.
So, saya ingin tanya sama ada kita boleh memastikan dengan tergubalnya undang- undang ini, dengan kita melaksanakan undang-undang ini supaya kita pastikan bahawa kejadian-kejadian seperti ini tidak lagi berulang. Menteri dan pesuruhjaya perlu diberi kuasa untuk memastikan tak ada lagi pemalsuan dokumen. Jangan benarkan siapa-siapa yang bukan warganegara Malaysia untuk menyarung jersi Malaysia, main untuk Malaysia di padang bola sepak mewakili Malaysia.
Tuan Haji Azli bin Yusof - Shah Alam
Jelutong boleh?
Tuan Sanisvara Nethaji Rayer a/l Rajaji - Jelutong
Kawan saya juga, kita bagi Shah Alam.
Tuan Haji Azli bin Yusof - Shah Alam
Ya.
[Ketawa] Baru ini bila Malaysia mengambil bahagian dalam FIFA ASEAN di Indonesia, di Jakarta, bila Malaysia lawan dengan Indonesia itu seolah-olahnya macam kita lawan Netherlands. Setuju Jelutong?
Macam lawan Netherlands. Jadi, kita tak nak Malaysia nanti pun jadi macam itu juga. Jadi, setujukah Jelutong kalau kita perkemaskan sikit dari segi bilangan nasionalisasi yang boleh dimasukkan ke dalam skuad kebangsaan? Terima kasih.
Tuan Sanisvara Nethaji Rayer a/l Rajaji - Jelutong
Kalau nak ambil lebih kurang satu minit ya, tapi kita bagi juga lah kawan kita. Kita ada pemimpin-pemimpin kita di sini, mungkin yang akan menjadi wakil rakyat pada masa akan datang. Di bangku sekolah dahulu, di buku-buku sekolah saya terbaca, kita masih lagi ingat pemain-pemain bola sepak yang mengharumkan nama kita. Saya ulangi di sini dalam Dewan yang mulia ini, Mokhtar Dahari, Soh Chin Ann, Arumugam, Shukor Salleh, Dollah Salleh, Zainal Abidin, Santokh Singh, K.
Gunalan, Jayakanthan, Lim Teong Kim, Hassan Sani, James Wong.
Saya hanya menyeru Menteri gunakan undang-undang yang ada ini untuk kita mencungkil bakat-bakat baru supaya kita ada. Kita— Menteri ini mempunyai satu tugas yang penting, tugas penting untuk menyatupadukan negara. Sebab rakyat Malaysia ini bila kita menonton, kita tengok Pearly, Thinaah lawan badminton, bola tangkislah, kita menyokong mereka. Tak kira Melayulah, Indialah, Cina, kita menyokong. Sukan mempunyai kuasa untuk menyatupadukan rakyat Malaysia...
Puan Teresa Kok Suh Sim - Seputeh
Betul, betul.
Tuan Sanisvara Nethaji Rayer a/l Rajaji - Jelutong
Yang Berhormat Menteri perlu ingat, kita ada anasir-anasir Menteri Besar-Menteri Besar negeri yang boleh mengatakan India ada India, Cina ada China. Perkataan-perkataan begitu memecahbelahkan rakyat. Saya rasa begitu dukacita, Menteri Besar sebuah negeri, dia turun pilihan raya bagi tahu apa yang boleh buat...
Tuan Haji Ahmad Fadhli bin Shaari - Pasir Mas
Dia nak politiklah tu.
Tuan Wan Ahmad Fayhsal bin Wan Ahmad Kamal - Machang
Sebut nama, sebut nama Jelutong.
Tuan Sanisvara Nethaji Rayer a/l Rajaji - Jelutong
Eh, kenapa panas? Kenapa panas?
Dato’ Sri Doris Sophia anak Brodi
Sudahlah, masa sudah tamat Jelutong.
Tuan Sanisvara Nethaji Rayer a/l Rajaji - Jelutong
Makan cili rasa pedas kah?
Kenapa panas? Jadi, saya hendak minta Menteri supaya gunakan kuasa ini memastikan bukan sahaja bola sepak. Dulu kita ada Misbun Sidek, Razif Sidek, Lee Chong Wei, kita ada Cheah Soon Kit, the Sidek Brothers. Badminton merudum, Menteri tolonglah ambil langkah, gunakan undang-undang ini.
Pastikan kita mengharumkan lagi— menggunakan badminton untuk mengharumkan lagi nama kita di persada dunia. Sekian, terima kasih. Saya mohon menyokong.
Dato’ Sri Doris Sophia anak Brodi
Terima kasih Jelutong. Seterusnya menjemput Yang Berhormat Dungun, silakan Yang Berhormat.
Dato’ Haji Wan Hassan bin Mohd Ramli - Dungun
Assalamualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh. Terima kasih kepada Yang di-Pertua kerana mengizinkan saya untuk mengambil bahagian dalam perbahasan Rang Undang-undang Pembangunan Sukan (Pindaan) 2026.
Pertama, saya ucap tahniah kepada atlet-atlet Malaysia yang telah berjaya mencapai kecemerlangan dalam pingat di Sukan Asia baru-baru ini dan khususnya kepada Dato’ Azizulhasni Awang kerana dia adalah warga Dungun walaupun membawa bendera negara Malaysia dan nama negara. Soal yang berkait dengan pembangunan sukan perlu kita lihat kepada dua perkara utama. Yang pertama ialah pembangunan fizikal. Yang kedua ialah pembangunan spiritual.
Pembangunan fizikal, kita lihat sudah mungkin banyak prasarana-prasarana sukan yang ada dalam negara kita, tapi soal yang perlu kita bincang ialah kepada pencapaian- pencapaian daripada sudut-sudut sukan-sukan yang ada dalam negara kita. Ini kerana ada pencapaian sukan yang telah mencapai taraf internasional dan dunia seperti badminton, hoki dan juga yang melibatkan pernah satu ketika dulu, boling dan lain-lain.
Dato’ Haji Wan Hassan bin Mohd Ramli - Dungun
Jadi kena diasingkan untuk dilihat mana yang melibatkan fizikal pertandingan yang mungkin kita terpaksa membuat pengubahsuaian kepada keperluan-keperluan yang melibatkan atlet-atlet kita. Ada sukan-sukan yang tidak memerlukan pertembungan fizikal seperti sepak takraw, badminton dan lain-lain. Itu mungkin kita boleh tumpu kepada nilai-nilai pembangunan untuk membawa ke peringkat yang lebih tinggi.
Oleh itu, saya hanya mungkin turut ambil bahagian sedikit dengan masa yang ada iaitu berasas kepada pindaan kepada subseksyen 38(2) yang bertujuan melindungi komuniti sukan daripada salah laku, penderaan dan gangguan. Yang ini melibatkan soal spiritual.
Kita baru sahaja melihat bagaimana kelewatan dan jurang komunikasi antara pihak pengurusan sukan dengan seorang atlet berprestasi tinggi boleh berkembang menjadi polemik nasional. Saya tidak berniat mempersoalkan mana-mana pihak kerana kementerian sendiri telah mengakui terdapat masalah komunikasi dan dimaklumkan bahawa perkara tersebut telah diselesaikan, tetapi kita perlu mengambil pengajaran daripada episod ini.
Seorang atlet tidak sepatutnya berada terlalu lama dalam ketidakpastian mengenai sama ada khidmatnya masih diperlukan, apakah program yang akan disediakan, bentuk sokongan yang diterima dan apakah hala tuju persiapannya lebih-lebih lagi bagi sukan berprestasi tinggi. Keputusan mengenai latihan, kejohanan, pemulihan, keluarga dan penajaan perlu dirancang lebih awal. Kadang- kadang lebih daripada bertahun-tahun dan kadang-kadang berbulan-bulan. Oleh itu, pohon supaya diberi perhatian kepada pindaan subseksyen ini.
Dan saya juga ingin untuk mengambil sedikit daripada bila kita berbahas mengenai pembinaan atlet masa hadapan, saya ingin membawa satu lagi cadangan yang mungkin berada di luar skop langsung pindaan ini tetapi mempunyai nilai strategik kepada pembangunan budaya dan ekosistem sukan negara. Saya mencadangkan supaya sebuah Muzium Sukan Negara diwujudkan supaya khusus bersifat interaktif sebagai pusat dokumentasi pendidikan, penyelidikan dan pemuliharaan legasi sukan Malaysia iaitu dalam— dibangunkan berasakan tiga dimensi.
History iaitu sejarah yang telah lalu kerana kita tidak mencapai keadaan sukan seperti hari ini melainkan kita telah menerimanya daripada atlet-atlet di masa lalu. Dan yang kedua ialah berdasarkan realiti...
Dato’ Sri Doris Sophia anak Brodi - Sri Aman
Masa telah tamat Yang Berhormat. Gulung ya.
Dato’ Haji Wan Hassan bin Mohd Ramli - Dungun
Ya, yang terakhir. Yang terakhir. Berdasarkan realiti semasa hari ini dan misteri untuk masa akan datang kerana mungkin yang hari ini yang akan datang ke muzium itu seorang kanak-kanak, tapi mungkin dalam masa 20, 30 akan datang dia menyarung jersi negara atau menjadi atlet negara yang membawa nama Malaysia dan Bendera Malaysia. Terima kasih, Yang di-Pertua.
Dato’ Sri Doris Sophia anak Brodi - Sri Aman
Terima kasih, Yang Berhormat. Seterusnya, mempersilakan Yang Berhormat Dungun— Putatan, silakan.
Datuk Ir. Shahelmey bin Yahya - Putatan
Terima kasih, Tuan Yang di- Pertua. Putatan ingin merujuk kepada perihal pembayaran lebihan aset kepada Kumpulan Wang Disatukan yang digariskan dalam fasal 8 yang mana peruntukan baharu, seksyen 25A yang dicadangkan menerusi fasal tersebut diharapkan dapat menjadi sumber kewangan sokongan kepada kerajaan untuk membiayai segala keperluan tambahan bagi menjayakan pembangunan sukan negara.
Secara prinsipnya, Putatan bersetuju dengan peruntukan seksyen 25A(b)(i) yang memperuntukkan kuasa kepada Menteri untuk mengarahkan pembayaran lebihan aset kepada Kumpulan Wang Disatukan. Secara tidak langsung, kuasa yang diperuntukkan tersebut dapat memberi ruang kepada Menteri untuk mencakna senario kewangan yang dihadapi oleh sesebuah badan sukan yang telah dibatalkan.
Sebagai Menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal sukan nasional, Menteri perlu peka terhadap cabaran hakiki yang dihadapi oleh sesebuah badan sukan. Pembatalan sesebuah badan sukan yang dibuat menurut seksyen 20 seharusnya dijadikan sebagai pedoman kepada Menteri. Pedoman yang boleh mencetuskan usaha serta tindakan proaktif untuk mendorong kelangsungan badan- badan sukan yang sedia ada pada hari ini.
Kestabilan kewangan merupakan antara kekuatan terpenting kepada sesebuah badan sukan untuk merangka perancangan tahunan lebih-lebih lagi untuk membuat persediaan atlet bagi satu-satu kejohanan. Di samping sokongan penajaan daripada pihak swasta, sokongan kewangan daripada Kerajaan Persekutuan juga penting untuk memangkin agenda pembangunan bakat sukan tanah air secara jangka panjang.
Setiap kali bercakap mengenai masa depan sukan, sudah tentu perkara pertama yang terlintas di fikiran Putatan ialah duit. Seperti Yang Berhormat Menteri sedia maklum, masalah kewangan sering kali membelenggu industri sukan tanah air.
Persatuan mahupun kelab sukan sama ada di peringkat Persekutuan atau negeri sering kali bergelut untuk mendapatkan sokongan kewangan demi untuk terus bersaing dalam bidang sukan masing-masing.
Keghairahan kebanyakan badan sukan untuk menyertai satu-satu kejohanan sukan berkomersial tinggi telah menyebabkan mereka terjerat dengan masalah hutang misalnya sukan bola sepak. Banyak kelab sukan bola sepak tempatan selama ini kurang telus dalam mendedahkan status kewangan mereka. Mereka bersembunyi di sebalik keriuhan sokongan peminat yang masih mengharapkan pasukan kegemaran mereka terus bersaing terutamanya dalam Liga Super.
Implikasinya, pemain-pemain, jurulatih dan pekerja-pekerja yang berdaftar dengan kelab bola sepak tidak dibayar gaji. Akibat tunggakan gaji selama berbulan- bulan, mereka dan keluarga mereka terpaksa mengikat perut dan terpaksa berdepan dengan risiko pelucutan pemilikan aset peribadi. Sikap acuh tak acuh pihak pengurusan kelab menggambarkan bahawa ada yang tidak kena dengan ketegasan badan induk yang mengelolakan kejohanan bola sepak berprestij negara.
Sejajar dengan peruntukan 13 rang undang-undang ini, Putatan menggesa agar Yang Berhormat Menteri dapat memainkan peranan eksekutif dengan lebih tegas untuk melaksanakan pemantauan terhadap kebajikan atlet profesional.
Menteri sewajarnya mengambil berat tentang status semasa kewangan kelab-kelab bola sepak domestik. Menerusi perhatian tersebut, Menteri secara langsung dapat mengenal pasti masalah, keperluan serta tindakan yang perlu dilaksanakan untuk melindungi kebajikan pemain dan pekerja kelab bola sepak.
Dengan kata lain, kuasa Menteri untuk membatalkan pendaftaran badan sukan yang diperuntukkan dalam seksyen 41A tidak semestinya digunakan secara praktikal. Sebaliknya kuasa tersebut boleh digunakan sebagai gertakan untuk memastikan mana-mana badan sukan termasuk kelab serta persatuan bola sepak tempatan tidak lagi culas dalam soal kebertanggungjawaban kewangan.
Puan Yang di-Pertua, sekian sahaja ucapan saya. Putatan mohon menyokong.
Dato’ Sri Doris Sophia anak Brodi - Sri Aman
Terima kasih, Yang Berhormat Putatan. Sekarang giliran Yang Berhormat Pasir Mas. Silakan, Yang Berhormat.
Tuan Haji Ahmad Fadhli bin Shaari - Pasir Mas
Terima kasih.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Yang di- Pertua, saya bangun membahaskan Rang Undang-undang Pembangunan Sukan
(Pindaan) 2026 ini. Terlebih dahulu saya rakamkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan dan juga Kementerian Belia Sukan atas komitmen menjayakan SUKMA Kelantan 2028 nanti.
Terima kasih, Menteri. Saya berharap Menteri dapat turun lebih kerap ke Kelantan, memantau persiapan termasuk memastikan Mini Stadium Pasir Mas dapat dinaik taraf dan dimanfaatkan dalam ekosistem SUKMA 2028 nanti kerana kita mahu SUKMA yang terakhir dianjurkan di luar di Lembah Klang ini meninggalkan legasi, kemudahan dan pembangunan atlet kepada rakyat Kelantan.
Tuan Yang di-Pertua, saya bersetuju Akta Pembangunan Sukan perlu diperkasakan, tapi apabila RUU ini memberikan kuasa yang lebih besar kepada Menteri dan Pesuruhjaya Sukan, semak imbang juga perlu diperkukuhkan.
Tuan Haji Ahmad Fadhli bin Shaari - Pasir Mas
Pertama, seksyen 19B. Pesuruhjaya boleh mengarahkan badan sukan meminda perlembagaannya. Saya akui badan sukan diberikan peluang membuat representasi tapi saya bimbang dengan seksyen 19B(c) ini yang membenarkan arahan pindaan bagi apa-apa perkara lain didapati perlu atau suai manfaat oleh pesuruhjaya.
Apakah parameter apa-apa perkara lain dan suai manfaat? Tambahan pula seksyen 19C menetapkan badan sukan sendiri tidak boleh meminda perlembagaannya tanpa kelulusan pesuruhjaya. Maknanya pesuruhjaya boleh mengarahkan pindaan dan apabila persatuan sendiri mahu meminda perlembagaan, kelulusan pesuruhjaya juga diperlukan. Jadi, ini bukan kebimbangan secara teori sahaja, Tuan Yang di-Pertua.
Lihat Malaysia Pickleball Association. Pertikaian penggantian kepimpinan dan pematuhan perlembagaan akhirnya membawa kepada campur tangan Pejabat Pesuruhjaya Sukan. Pada 27 Februari 2026, MPA digantung dan diberikan tempoh untuk menjelaskan mengapa pendaftarannya tidak patut dibatalkan. Antara isu dibangkitkan ialah pelanggaran perlembagaan, penggantian kepimpinan yang dipertikaikan dan AGM dahulunya tidak mencapai kuorum.
Saya bukan pertikaikan tindakan pesuruhjaya dalam kes tersebut. Campur tangan mungkin memang diperlukan tapi kes ini menunjukkan betapa besarnya kesan tafsiran perlembagaan dan kuasa pesuruhjaya terhadap sesebuah badan sukan. Saya cadangkan seksyen 19B ini mesti punyai alasan bertulis, parameter, objektif dan mekanisme rayuan yang jelas.
Kedua, seksyen 41A. Menteri boleh mengisytiharkan badan sukan sebagai menyalahi undang-undang atas alasan keselamatan Malaysia, ketenteraman awam atau kemoralan dan pendaftarannya terbatal serta-merta. Saat pertanyaan saya, apakah definisi kemoralan. Mengapa seksyen 19B memberikan peluang representasi tapi perlindungan yang sama tidak dinyatakan dalam seksyen 41A sebelum hukuman yang jauh lebih berat dikenakan. Kita menggubal undang-undang ini bukan hanya untuk Menteri hari ini tapi untuk semua Menteri pada masa akan datang.
Ketiga, kuasa penyiasatan. Seksyen 32D membolehkan seseorang diperiksa secara lisan dan kenyataannya diterima sebagai keterangan terhadap dirinya atau mana-mana orang lain. Seksyen 32E dan 32F memberikan kuasa berkaitan dokumen dan bahan fizikal serta elektronik. Saya akui ada safeguard penggeledahan melibatkan waran Majistret dan juga pendakwaan memerlukan keizinan bertulis Pendakwa Raya. Tapi bagaimana dengan hak mendapatkan peguam ketika diperiksa? Berapa lama telefon atau komputer boleh ditahan? Bagaimana data peribadi tidak berkaitan dilindungi?
Tuan Yang di-Pertua, selepas kita bercakap tentang kuasa dan governance, jangan lupa kita bercakap perkataan paling penting dalam akta ini iaitu pembangunan. Apakah outcome pembangunan sukan kita? Lihat bola sepak.
Malaysia dulu— kini berada di tangga 136 dunia. Uzbekistan pernah berada serendah tangga 119 dunia. Hari ini mereka berada di tangga 60, sudah layak buat pertama kali ke Piala Dunia 2026. Jordan layak buat pertama kali ke Piala Dunia.
Apa yang mereka lakukan dari segi akademi, liga remaja, jurulatih, sains sukan dan pemilihan pemain. Saya harap Menteri dapat memberikan fokus terhadap perkara seperti ini.
Kes tujuh pemain warisan FAM menunjukkan persoalan lain. Saya setuju yang dibangkitkan oleh Jelutong tadi. Kita tidak mahu orang yang tidak tahu bercakap bahasa Melayu menyarungkan jersi pasukan Malaysia. Ini sangat memalukan dan persoalan tidak memahami bahasa Melayu ini satu persoalan sangat penting. Sebab itu kadang-kadang ada Ahli Parlimen yang gagal memahami bahasa Melayu yang jelas. Menteri Besar cakap lain, dia faham cara yang lain. Jadi bukan setakat pemain sukan, Ahli Parlimen juga perlu memahami bahasa Melayu dengan jelas.
Begitu juga badminton...
Tuan Tan Hong Pin - Bakri
Pasir Mas, namakan siapa Ahli Parlimen itu?
Jangan macam ini. Saya terasa.
Tuan Haji Ahmad Fadhli bin Shaari - Pasir Mas
Tak, sebab...
Tuan Tan Hong Pin - Bakri
Saya rasa terasa, namakan siapa. Namakan dia.
Tuan Haji Ahmad Fadhli bin Shaari - Pasir Mas
Sebab tadi— okey tadi Jelutong pun tak sebut pun Menteri Besar mana. Saya pun tak nak sebutlah Ahli Parlimen mana. Tapi saya dah sebut tadi.
Begitu juga badminton. Kita masih punyai pemain bertaraf dunia tapi Malaysia tersingkir 0-3 kepada China di suku akhir Piala Thomas 2026. Kita belum membawa Piala Thomas sejak 1992. Dahulu kita terlalu bergantung kepada Datuk Lee Chong Wei. Persoalannya sekarang apakah succession plan kita? Penggantian, penerusan pelan kita. Apakah sistem kita punya kedalaman untuk melahirkan pemain kelompok terbaik dunia secara berterusan?
Dalam acara basikal trek. Dato' Azizulhasni. Dalam usia 38 tahun masih berada dalam perancangan negara menuju LA2028 dan telah dimasukkan dalam program Olympic Pathway. Saya tidak menafikan. Itu bagus. Tapi apa ataupun siapa selepas Dato' Azizulhasni. Dulu Lee Chong Wei menjadi pemain yang paling lama bertahan. Nombor satu, number one. Nombor satu dunia. Pemain nombor satu dunia. Paling lama. Tapi selepas beliau, kita melihat prestasi pemain badminton turun naik, turun naik. Baru-baru ini kita hanya dapat satu gangsa melalui beregu wanita.
Jadi, ini satu persoalan yang perlu dibangkitkan.
Dato' Sri Doris Sophia anak Brodi
Masa sudah tamat Yang Berhormat.
Gulung ya.
Tuan Haji Ahmad Fadhli bin Shaari - Pasir Mas
Ya?
Dato' Sri Doris Sophia anak Brodi
Masa sudah tamat.
Tuan Haji Ahmad Fadhli bin Shaari - Pasir Mas
Okey terima kasih. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Saya nak landing dan saya harap supaya RUU ini mencapai dua perkara. Pertama, governance yang baik dengan kuasa semak imbang dan kedua, pembangunan yang menghasilkan prestasi dan pelapis.
Terima kasih Yang Berhormat Menteri. Terima kasih Yang di-Pertua.
Dato' Sri Doris Sophia anak Brodi
Terima kasih Yang Berhormat Pasir Mas. Seterusnya, Yang Berhormat Batu silakan.
Tuan Prabakaran a/l M Parameswaran - Batu
Terima kasih Timbalan Speaker. Terima kasih kepada Menteri yang membawa reform kepada pembangunan sukan. Saya amat kagum Menteri, sahabat baik saya. Walaupun sahabat baik, Dewan ini saya perlukan satu ketegasan apabila berkaitan dengan akta ini.
Terutamanya saya menyentuh seksyen 41A yang memberi kuasa kepada Menteri untuk mengisytiharkan sesuatu badan sukan sebagai menyalahi undang- undang sehingga boleh membawa kepada pembatalan pendaftarannya. Saya faham bahawa kerajaan perlu mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana badan sukan yang benar-benar mengancam keselamatan negara, ketenteraman awam atau melanggar undang-undang.
Namun apabila kuasa yang begitu besar diberikan, kita juga perlu memastikan bahawa proses dan semak imbangnya jelas. Persoalan saya ialah adakah sebenarnya definisi dan kriteria bagi sesuatu badan dianggap menyalahi undang-undang, siapakah yang membuat penilaian sebelum keputusan dibuat oleh Menteri dan apakah bentuk bukti atau siasatan yang diperlukan.
Lebih penting, adakah badan sukan tersebut diberikan peluang untuk membuat representasi sebelum pendaftarannya dibatalkan? Jika keputusan telah dibuat, apakah hak mereka untuk memohon semakan atau membuat rayuan?
Pembatalan pendaftaran bukan perkara kecil. Ia boleh memberi kesan kepada pengurusan badan, ahli, atlet, harta dan juga liabiliti badan tersebut. Oleh itu, saya berpandangan bahawa kuasa untuk mengambil tindakan perlu datang bersama proses yang telus. Jika sesuatu badan benar-benar melakukan kesalahan, tindakan mesti boleh diambil tetapi pada masa yang sama, badan tersebut perlu mengetahui alasan keputusan diberi peluang untuk menjawab dan mempunyai saluran untuk mencabar keputusan tersebut.
Saya juga ingin menyentuh cadangan bahagian baharu seksyen 32A hingga 32H yang memperkenalkan kuasa penguatkuasaan dan penyiasatan termasuk kuasa membuat pemeriksaan, memohon waran geledah serta menyita dokumen dan bahan berkaitan. Saya memahami keperluan untuk memperkukuhkan kuasa penguatkuasaan bagi memastikan tadbir urus badan sukan lebih berintegriti, khususnya sekiranya berlaku pelanggaran undang-undang atau salah laku yang serius.
Namun apabila kuasa pemeriksaan, penggeledahan dan penyitaan peluaskan, kita juga perlu melihat kepada aspek semak dan imbang. Kuasa seperti ini mempunyai implikasi yang besar kepada sesebuah badan sukan kerana ia melibatkan akses kepada premis, dokumen, rekod dan bahan yang mungkin mempunyai nilai kewangan atau pentadbiran.
Justeru, saya ingin mendapatkan penjelasan daripada kerajaan. Apakah garis panduan dan SOP yang akan mengawal pelaksanaan kuasa ini? Siapakah yang boleh menjalankan pemeriksaan? Dalam keadaan apakah waran diperlukan?
Bagaimanakah bahan atau dokumen yang disita akan direkod, disimpan dan dipulangkan? Adakah mekanisme aduan sekiranya sesebuah badan sukan berasakan kuasa ini telah digunakan secara tidak wajar?
Juga ingin menyentuh seksyen 19A hingga 19C yang memperkukuhkan kuasa Pesuruhjaya Sukan terhadap badan-badan sukan termasuk kuasa yang membuat arahan bertulis supaya sesuatu perlembagaan badan sukan dipinda serta keperluan mendapatkan kelulusan bagi perubahan nama, tempat, urusan dan kaedah badan sukan. Saya memahami keperluan pindaan ini bagi memastikan perlembagaan badan sukan mematuhi undang-undang dan prinsip tadbir urus yang baik.
Namun begitu dalam masa yang sama, kita perlu memastikan autonomi badan-badan sukan terus dihormati. Badan sukan mempunyai struktur, ahli dan perlembagaan mereka sendiri. Apabila kuasa untuk mengarahkan pindaan Perlembagaan diberi kepada Pesuruhjaya Sukan, persoalannya ia sejauh mana kuasa tersebut boleh digunakan atas batasnya. Apakah batasnya?
Adakah badan sukan diberikan peluang untuk membuat representasi sebelum sesuatu arahan dikeluarkan? Adakah terdapat kriteria yang jelas mengenai perkara yang boleh diarahkan untuk dipinda? Dan sekiranya badan sukan tidak bersetuju dengan arahan tersebut apakah saluran semakan atau rayuan yang tersedia?
Lihat juga kepada seksyen 25A hingga 25C berkaitan harta, hutang dan liabiliti badan sukan apabila pendaftarannya dibatalkan. Pada zahirnya perkara ini mungkin kelihatan teknikal tetapi pada hakikatnya ia mempunyai implikasi kewangan yang besar. Apabila sesebuah badan sukan dibatalkan pendaftarannya, sudah tentu timbul persoalan tentang apa yang akan berlaku kepada aset yang dimiliki, hutang yang masih tertunggak dan liabiliti kepada pihak-pihak yang berkaitan.
Tuan Prabakaran a/l M Parameswaran - Batu
Pindaan ini turut diperuntukkan peranan Ketua Pengarah Insolvensi serta mekanisme berkaitan pemindahan harta, hutang dan liabiliti kepada badan sukan baharu. Maka saya ingin memastikan bahawa proses tersebut benar-benar jelas dan tidak menimbulkan pertikaian pada kemudian hari.
Dengan ini, Batu secara dasar dan prinsip menyokong RUU ini. Terima kasih.
Dato’ Sri Doris Sophia anak Brodi - Sri Aman
Terima kasih, Yang Berhormat Batu. Sekarang giliran Yang Berhormat Langkawi. Silakan, Yang Berhormat.
Dato’ Mohd Suhaimi bin Abdullah - Langkawi
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih, Dato’ Yang di-Pertua. Saya adalah orang yang paling gembira semasa Yang Berhormat Sungai Petani dilantik menjadi Menteri Sukan. Jadi, saya nak ucapkan khusus kepada beliau, tahniah kerana dapat menjayakan Rang Undang-undang Pembangunan Sukan khususnya kepada seksyen 19A dan 19C yang memberi legal capacity kepada badan-badan sukan termasuk juga kewangan.
Tapi hari ini saya juga nak mengatakan saya sedih, dengan pelantikan beliau juga Le Tour de Langkawi tak pi Langkawi. Mana mungkin orang Kedah buat Le Tour de Langkawi tak pergi Langkawi?
Beberapa Ahli
[Berucap tanpa menggunakan pembesar suara]
Dato’ Mohd Suhaimi bin Abdullah - Langkawi
Saya duk ingat inilah Menteri yang paling nak bawa pergi ke Langkawi. Ini Menteri Pertahanan pula nak bawa LIMA ini ke Melaka.
Tuan Tan Hong Pin - Bakri
Yang Berhormat Langkawi, adakah itu disebabkan oleh rakyat di Langkawi tersilap pilih MP dia? Itu soalan ya. Itu soalan.
Adakah itu benar?
Beberapa Ahli
[Berucap tanpa menggunakan pembesar suara]
Dato’ Mohd Suhaimi bin Abdullah - Langkawi
Ini dari mana bengong sangat ini? Dato’ Yang di-Pertua, dan saya nak maklumkan juga kepada Yang Berhormat Menteri, Langkawi juga pernah produce atau mengeluarkan atlet, contohnya Khairulnizam Mohd Afendy, 4x4 Sukan Olimpik London 2012, Rio 2016, Tokyo 2020, Paris 2024 dan beliau mempunyai, mendapat 2 Pingat Perak Sukan Asia 2014, 2018. Orang Langkawi yang di-train di Langkawi.
Nurul Farhan Natasha Che Wan, Para SUKMA 2022, memenangi pingat emas lompat jauh wanita F12; Aina Zulaikha Azizul Rahman, pelayaran; dan juga Juni Karimah Noor Jamali, Nuraisyah Jamil, pelayaran dan mereka ini juga ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.
Saya nak mencadangkan kepada Yang Berhormat Menteri, pertimbangkan supaya Langkawi, kita tubuhkan Langkawi sport tourism and high-performance hub.
Kerana facilities yang ada di Langkawi, saya yakin dan percaya, ia nya dapat membantu. Pertama, pusat latihan sukan berprestasi tinggi yang boleh digunakan oleh atlet negara dan pasukan antarabangsa untuk latihan sepanjang tahun.
Kedua, pembangunan sukan air seperti triathlon, renang perairan terbuka, kayak, layar dan sukan marin mengambil kira kelebihan geografi Langkawi.
Pembangunan sukan yang ketiga, sukan berbasikal dan endurance sports dengan menjadikan Langkawi sebagai destinasi latihan antarabangsa. Yang ini telah pun ada infrastruktur dan juga sudah ada.
Keempat, pembangunan bakat anak-anak Langkawi supaya mereka bukan sekadar menjadi penonton atau sukarelawan acara antarabangsa tetapi menjadi atlet, jurulatih, pegawai teknikal dan pengurus acara sukan. Yang ini juga kita sudah ada.
Yang kelima, pembangunan industri sokongan sukan, hotel, fisioterapi, pemakanan sukan, peralatan sukan, latihan kecergasan, sport science dan sport recovery. Saya juga ingin menyentuh soal kemudahan sukan untuk rakyat Langkawi.
LADA sememangnya mempunyai Kompleks Sukan LADA dan kemudahan riadah yang digunakan oleh masyarakat di Langkawi. Tetapi kita perlu melihat daripada pembangunan sukan Langkawi bukan sekadar membina sebuah kompleks atau padang. Kita perlu membina ekosistem yang saya rasa layak untuk kita panggilnya sebagai sukan antarabangsa.
Saya nak cadangkan juga Pelan Induk Sukan Langkawi, Yang Berhormat Menteri, 2027–2035, pelan ini perlu mempunyai sasaran jelas; berapa atlet Langkawi yang dibangunkan setiap tahun, berapa banyak sukan berprestasi tinggi yang akan difokuskan, berapa acara sukan antarabangsa yang boleh ke Langkawi, berapa peluang pekerjaan diwujudkan melalui industri sukan, berapa jumlah pelancong sukan yang boleh ditarik.
Kerana masa tidak mencukupi, Yang Berhormat Menteri, saya merayu kepada Yang Berhormat Menteri agar tahun hadapan, Le Tour de Langkawi itu kembalikanlah ke Langkawi. Buktikan kepada orang Kedah, bahawa orang Sungai Petani juga cinta “Pulau Lagenda” Langkawi.
Terima kasih, Dato’ Yang di-Pertua.
Dato’ Sri Doris Sophia anak Brodi - Sri Aman
Baiklah. Terima kasih, Yang Berhormat Langkawi. Seterusnya menjemput Yang Berhormat Keningau. Silakan.
Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey G. Kitingan - Keningau
Terima kasih, Dato’ Speaker. Pada keseluruhannya, Keningau menyokong Rang Undang-undang Pembangunan Sukan. Namun ada beberapa perkara yang saya ingin bangkitkan termasuklah isu mengenai kuasa Menteri dan siasatan penguatkuasaan yang nampak agresif dan ada kekhuatiran, ada kemungkinannya penyalahgunaan kuasa yang diberi. Persoalannya, apakah tindakan atau langkah untuk membendung perkara ini?
Baru-baru ini umpamanya, ada skandal pemain bola sepak keturunan warga asing yang telah mendapat kewarganegaraan dengan serta merta ada juga yang mendapat di dalam tempoh 24 jam. Jadi, skandal tersebut masih belum selesai dan belum disiasat dengan sepenuhnya. Hanya ada elak-mengelak. Jadi, persoalan saya, kenapa ini boleh berlaku sedangkan orang asal di Sabah dan Sarawak terpaksa menunggu bertahun-tahun selepas permohonan hanya untuk mendapatkan jawapan.
Dato’ Speaker, cadangan RUU Pembangunan Sukan haruslah progresif, bukan hanya menghukumkan pembatalan pendaftaran badan sukan sewenang- wenangnya. Dalam sukan bola sepak di Eropah umpamanya, pertikaian dan tindakan tatatertib sukan bola sepak boleh dirujuk kepada panel rayuan bebas atau independent appeal panel selepas ketidakpuasan hati keputusan.
Jadi, bolehkah kementerian mempertimbangkan langkah untuk mewujudkan independent appeal body serupa ini di bawah RUU ini? Dari segi pentadbiran sukan antarabangsa, banyak badan sukan seperti IOC dan Federation of International Football Association melarang sebarang campur tangan pihak politik dan kerajaan di dalam isu urus tadbir badan sukan berkenaan.
Jadi, apakah tindakan kerajaan untuk menyelaraskan dan mengharmonikan RUU ini dengan keperluan badan sukan antarabangsa yang melarangkan campur tangan politik dan kerajaan?
Dato’ Speaker, saya juga ingin membangkitkan dua perkara lagi. Pertamanya, baru-baru ini atlet— para atlet di Sabah telah mengharumkan nama Malaysia di pentas sukan antarabangsa dan lagu kebangsaan “Negaraku” dimainkan dengan bangganya. Antara kejayaan atlet Sabah tersebut termasuklah Adeola Fay Robert dari Tambunan, Parlimen Keningau yang telah memenangi pingat emas pertama Malaysia dalam sukan karate di Sukan Asia 2026 di Japan.
Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey G. Kitingan - Keningau
Yang kedua, Abd Halim Mohammad dari Tuaran yang telah memenangi Atlet Lelaki Terbaik Malaysia di Sukan Para Asia dengan merangkul lima pingat emas dalam sukan renang individu dengan empat emas, mencatat rekod kejohanan.
[Timbalan Yang di-Pertua (Puan Alice Lau Kiong Yieng) **mempengerusikan Mesyuarat****] Yang ketiga, Ivan Jovic Suan, juga dari Tuaran telah memenangi beberapa pingat emas di Sukan Para Asia dalam acara larian pecut. Atlet veteran Sabah telah menganggotai hampir 80 peratus pasukan Malaysia ke kejohanan World Masters Athletics Championships di Daegu, Korea Selatan. Ditambah pula baru-baru ini, Sukan SSMS Kebangsaan. Pasukan pelajar Sabah telah menjuarai kejohanan tersebut dengan mendapatkan paling banyak pingat emas iaitu 25 emas, 13 perak dan 13 gangsa. Banyak lagi sumbangan dan prestasi cemerlang atlet Sabah di pentas sukan antarabangsa dan di peringkat nasional.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Sila gulung.
Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey G. Kitingan - Keningau
Ya. Maka itu, saya menggesa kementerian mengambil tindakan, mengambil perhatian bakat-bakat atlet yang saya sebutkan tadi itu untuk menjaga mereka dan juga menambah dan menaiktarafkan fasiliti dan kelengkapan supaya mereka dapat berlatih dengan sempurna.
Dan akhir sekali, melatih dan meningkatkan kemahiran jurulatih-jurulatih di mana di semua peringkat dari sekolah ke peringkat yang paling tinggi untuk melatih dan mengajar bakat-bakat ke tahap tertinggi supaya mereka boleh mengharumkan nama Malaysia dan juga di antarabangsa.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Terima kasih, Yang Berhormat.
Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey G. Kitingan - Keningau
Datuk Speaker, dengan itu, Keningau menyokong. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Terima kasih, Yang Berhormat Keningau. Saya jemput Yang Berhormat Mersing.
Tuan Haji Muhammad Islahuddin bin Abas - Mersing
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih, Tuan Yang di-Pertua. Saya ingin memulakan dengan merakamkan tahniah kepada kontinjen Malaysia di Sukan Asia 2026 atas pencapaian sembilan pingat emas, tujuh perak dan 16 gangsa, sekali gus menyamai pencapaian terbaik negara dari segi kutipan emas pada Sukan Asia Guangzhou 2010.
Pencapaian ini membuktikan bahawa atlet negara mempunyai potensi besar untuk terus mengharumkan nama Malaysia. Namun, di belakang setiap pingat mesti ada ekosistem yang kukuh. Daripada pembangunan akar umbi, kemudahan, jurulatih dan kebajikan atlet sehinggalah kepada tadbir urus persatuan yang telus dan berintegriti.
Justeru, saya menyambut baik Rang Undang-undang Pembangunan Sukan
(Pindaan) 2026 yang antara lain, memperkukuh tadbir urus badan sukan, pengurusan aset selepas pembatalan pendaftaran, penguatkuasaan dan penyitaan dan penyiasatan serta asas perundangan berkaitan anti-doping dan sukan yang selamat.
Tuan Yang di-Pertua, fasal 3 menetapkan bahawa garis panduan pembangunan sukan yang dikeluarkan hendaklah selaras dengan garis panduan atau kaedah antarabangsa yang terpakai. Saya menyokong prinsip ini kerana sukan hari ini beroperasi dalam ekosistem antarabangsa termasuk aspek anti-doping, keselamatan atlet, integriti pertandingan dan tadbir urus.
Namun, saya ingin bertanyakan, apakah mekanisme yang digunakan untuk menentukan sesuatu garis panduan antarabangsa itu terpakai kepada Malaysia?
Adakah kementerian akan mengadakan konsultasi dengan badan sukan, atlet, jurulatih, pakar undang-undang dan pihak berkepentingan sebelum garis panduan ditetapkan? Ini penting supaya kita mencapai keseimbangan antara pematuhan kepada standard antarabangsa dengan autonomi badan sukan negara.
Saya juga ingin menyentuh seksyen baharu, 19A, 19B dan 19C. Pindaan ini memperjelas kedudukan harta dan liabiliti badan sukan serta memberikan Pesuruhjaya Sukan kuasa mengarahkan pindaan kepada Perlembagaan atau kaedah badan sukan. Sebarang perubahan nama, alamat atau Perlembagaan juga perlu mendapat kelulusan pesuruhjaya terlebih dahulu.
Saya memahami keperluan kawal selia ini. Namun, apabila kuasa pesuruhjaya diperluaskan, mesti ada prosedur yang jelas dan tempoh membuat keputusan yang munasabah. Saya minta kementerian memastikan proses ini tidak terlalu birokratik sehingga membebankan persatuan sukan kecil di peringkat negeri dan daerah. Matlamat kita ialah meningkatkan tadbir urus. Bukan menambahkan birokrasi.
Tuan Yang di-Pertua, saya menyambut baik seksyen 25A yang memperuntukkan bahawa apabila pendaftaran sesuatu badan sukan dibatalkan, hartanya akan terletak hak pada Ketua Pengarah Insolvensi bagi tujuan penggulungan, termasuk penyelesaian hutang dan liabiliti. Saya ingin meminta menteri menyatakan berapa banyak badan sukan yang telah dibatalkan pendaftarannya bagi tahun 2022 sehingga 2025 mengikut negeri dan berapakah nilai aset yang terlibat?
Adakah kementerian mempunyai pangkalan data berpusat mengenai aset badan sukan? Jika sesuatu aset asalnya dibeli menggunakan peruntukan kerajaan untuk pembangunan sukan, kita perlu memastikan aset tersebut seboleh-bolehnya terus dimanfaatkan untuk tujuan pembangunan sukan.
Seksyen 25B pula membolehkan aset, hutang dan liabiliti dipindahkan kepada badan sukan baharu melalui mekanisme yang ditetapkan termasuk perintah Mahkamah Tinggi. Persoalan saya, berapa lama proses ini dijangka mengambil masa?
Kita tidak mahu berlaku keadaan apabila persatuan dibatalkan, tetapi atlet pula menjadi mangsa. Program latihan tidak boleh terhenti. Jurulatih tidak dibayar atau penyertaan pertandingan terganggu hanya kerana proses pentadbiran dan perundangan sedang berjalan. Saya mencadangkan satu mekanisme pentadbiran sementara supaya kepentingan dan kebajikan atlet terus dilindungi sehingga proses pengambilalihan selesai.
Seksyen 25C pula membolehkan dokumen yang difailkan dengan pesuruhjaya diperiksa atau diperolehi salinannya, tertakluk kepada tujuan yang sah dan syarat tertentu. Saya menyokong prinsip ketelusan ini.
Namun, kementerian perlu menetapkan dengan jelas kategori dokumen terbuka, dokumen akses terhad dan dokumen sulit, khususnya apabila melibatkan data peribadi atlet, termasuk atlet bawah umur. Saya juga berharap mekanisme cara ini dilaksanakan secara digital. Pada tahun 2026, urusan mendapatkan maklumat tidak seharusnya masih bergantung sepenuhnya kepada secara fizikal di kaunter.
Tuan Yang di-Pertua, pindaan ini juga memperkenalkan bahagian 6A, seksyen 32A hingga 32H berkaitan kuasa penguatkuasaan dan penyiasat termasuk pemeriksaan serta penyertaan dokumen fizikal dan elektronik. Saya menyokong penguasaan yang berkesan tetapi semakin besar kuasa diberikan, semakin tinggi keperluan terhadap akauntabiliti. Apakah SOP bagi pengendalian telefon, komputer dan data elektronik yang disita? Berapa lama data boleh disimpan dan siapakah yang dibenarkan mengaksesnya?
Saya turut menyambut baik pindaan seksyen 38 yang memberi punca kuasa berhubung anti-doping dan sukan selamat. Konsep safe sport mesti diberikan perhatian sama serius dengan pencapaian pingat. Kita masih melindungi khususnya atlet, khususnya kanak-kanak remaja daripada penderaan, gangguan dan eksploitasi.
Terakhir sekali, Tuan Yang di-Pertua, saya ingin membawakan perbahasan ini kepada retorik di kawasan. Kita mempunyai akta yang baik namun kita juga perlukan pembangunan sukan di kawasan luar bandar seperti Mersing. Di Mersing, pembangunan Tunku Mahkota Ismail Youth Centre (TMIYC) Mersing amat [Tidak jelas] masyarakat.
Jadi, saya sangat berharap agar Kementerian Belia dan Sukan dapat bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk membangunkan TMIYC Mersing ini.
Sekian, terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Terima kasih, Yang Berhormat Mersing. Saya jemput Yang Berhormat Betong.
Dato Dr. Richard Rapu @ Aman anak Begri - Betong
Terima kasih, Puan Yang di-Pertua. Betong menyokong RUU ini pada dasarnya selepas hampir tiga dekad Akta 576 sememangnya perlu diperkukuh. tetapi apabila kuasa Menteri, suruhanjaya dan pegawai penguat kuasa diperluas, maka mesti ada tiga perkara yang bergerak seiring. Kuasa, kawalan dan keadilan proses.
Tuan Yang di-Pertua, pertama, Betong ingin menyentuh seksyen 41 dan peraturan anti-doping serta sukan selamat. Fasal 11 memberi kuasa membuat peraturan berkaitan anti-doping dan sukan selamat. Dalam masa yang sama, fasal 12 memperluas kuasa pengecualian menteri kepada peraturan yang dibuat di bawah akta.
Soalan yang jelas, adakah kuasa pengecualian ini boleh digunakan terhadap peraturan anti-doping dan sukan selamat? Jika ya, apakah kawalannya? Betong mahu supaya setiap pengecualian mempunyai alasan bertulis, direkodkan dan boleh diaudit.
Dato Dr. Richard Rapu @ Aman anak Begri - Betong
Jangan sampai ruang pengecualian menjejaskan prinsip integriti sukan dan komitmen Malaysia terhadap standard anti-dopping antarabangsa. Puan Yang di- Pertua, kedua seksyen 41A berkaitan pembatalan pendaftaran badan sukan. Betong faham kerajaan perlu mempunyai kuasa bertindak sekiranya terdapat ancaman serius ataupun pelanggaran undang-undang. Tetapi pembatalan pendaftaran bukan perkara kecil. Ia boleh membawa kepada implikasi terus terhadap aset badan sukan di bawah seksyen 25A.
Justeru bagi kes yang tidak melibatkan ancaman keselamatan yang segera, Betong mencadangkan supaya badan sukan diberikan notis alasan bertulis dan peluang untuk membuat representasi ataupun rayuan. Lebih penting, aset yang dibina melalui sumbangan masyarakat seperti gelanggang, peralatan dan kemudahan sukan jangan mudah berakhir dalam Kumpulan Wang Disatukan.
Seterusnya, seksyen 25B sudah menyediakan ruang untuk ahli menubuhkan badan pengganti. Maka, Betong mencadangkan hak ini dimaklumkan secara rasmi dan diberi tempoh munasabah sebelum aset dilucutkan atau dipindahkan.
Puan Yang di-Pertua, ketiga, pengajaran daripada isu tadbir urus badan sukan antarabangsa. Kita telah melihat bagaimana kegagalan pengurusan, dokumen dan tadbir urus boleh membawa kesalahan besar kepada negara, atlet dan imej sukan Malaysia. Jangan kita hanya mempunyai kuasa menyiasat selepas masalah berlaku. Kita mesti mempunyai sistem untuk mencegah masalah sebelum ia nya berlaku.
Jadi, Betong mencadangkan standard tadbir urus minimum diwajibkan termasuk pengisytiharan konflik kepentingan, pemisahan fungsi, pengesahan dokumen, jejak audit dan tanggungjawab jelas pemegang jawatan terhadap maklumat yang dihantar kepada badan sukan antarabangsa. Ini bukan untuk kita membebankan persatuan, ini untuk melindungi persatuan dan atlet daripada kecuaian pengurusan.
Puan Yang di-Pertua, yang keempat ialah mengenai sukan selamat. Kod sukan selamat tidak seharusnya berhenti sebagai dokumen rujukan. Kita perlu tahu bila peraturan dan yang mempunyai kuasa undang-undang akan digubal. Betong juga ingin mencadangkan satu saluran aduan yang bebas daripada badan sukan itu sendiri khususnya apabila aduan melibatkan jurulatih, pegawai kanan ataupun pemegang jawatan persatuan.
Perlindungan lebih tinggi mesti diberikan kepada atlet bawah umur dan juga atlet para kerana mereka berada dalam keadaan kedudukan yang lebih bergantung kepada jurulatih dan persatuan.
Jadi Puan Yang di-Pertua, kelima, jangan kita menggubal undang-undang dengan hanya melihat pada badan sukan yang besar. Di Betong umpamanya dan juga di banyak kawasan luar bandar, persatuan sukan digerakkan oleh guru, belia dan penjawat awam secara sukarela. Jadi, ada yang tidak mempunyai pejabat tetap, malah berdepan masalah Internet. Jadi, maka kita mahu pematuhan. Kerajaan juga mesti memudahkan pematuhan.
Jadi, Betong mencadangkan klinik pematuhan mengikut zon, tempat Perlembagaan, templat Perlembagaan dan kewangan khusus kepada setiausaha dan bendahari serta perkhidmatan digital berbantu untuk kawasan yang mempunyai masalah ketersambungan.
Jadi, jika permohonan memerlukan kelulusan suruhanjaya mesti ada juga SLA yang jelas. Contohnya keputusan dalam tempoh 14 ataupun 30 hari. Jangan persatuan kecil itu menunggu berbulan-bulan hanya untuk perkara pentadbiran.
Jadi Tuan Yang di-Pertua, saya mahu melihat Sarawak khususnya termasuk kita di Betong diberikan perhatian yang sewajarnya, penambahan kuasa PJS10 disertai penambahan pegawai dan penurunan kuasa yang sesuai supaya urusan persatuan di kawasan luar bandar tidak semuanya tertumpu di ibu kota ataupun Putrajaya.
Jadi, kita perlu mengukur kejayaan pembangunan sukan bukan semata-mata berdasarkan jumlah pingat. Kita mesti melihat berapa ramai bakat baharu berjaya dibangunkan, berapa ramai atlet dilindungi dan sejauh mana kemudahan sukan digunakan sepanjang tahun.
Akhir sekali Tuan Yang di-Pertua, saya mohon Menteri menjelaskan tiga perkara. Pertama, berapa ramai pegawai tambahan diperlukan? Kedua, berapa yang akan ditempatkan di Sabah dan Sarawak? Ketiga, apakah KPI pelaksanaan akta ini bagi dua tahun pertama?
Puan Yang di-Pertua, akta ini jangan diukur berdasarkan berapa banyak persatuan disiasat atau dibatalkan. Ukuran yang sebenarnya mesti lebih besar.
Berapa banyak persatuan menjadi lebih baik? Berapa ramai atlet kita lebih terlindung dan berapa ramai anak muda mendapat peluang untuk berkembang dalam sukan?
Dengan pertimbangan dan penjelasan terhadap perkara-perkara yang saya bangkitkan, saya mohon menyokong. Sekian, terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Terima kasih Yang Berhormat Betong. Saya jemput Yang Berhormat Maran.
Dato’ Sri Dr. Haji Ismail bin Abd Muttalib - Maran
Bismillahirrahmanirrahim, Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Terima kasih Puan Yang di-Pertua kerana izinkan saya turut mengambil bahagian dalam perbahasan Rang Undang-undang Pembangunan Sukan (Pindaan) 2026.
Puan Yang di-Pertua, kata-kata ulama atau pemikir Islam berbunyi [Berucap dalam bahasa Arab] “Akal yang sihat, sejahtera, waras lazimnya berada dimiliki oleh tubuh badan atau manusia yang sihat dan sejahtera”. Justeru Puan Yang di-Pertua, kegiatan aktiviti sukan bukan sekadar untuk bertanding, bersaing dan menjadi juara dan juga bukan sekadar mendapatkan pingat dan nama negara tetapi aktiviti dan kegiatan sukan adalah di antara elemen ataupun faktor yang boleh membina kesihatan fizikal dan mental seseorang insan manusia di samping faktor-faktor yang lain.
Justeru Puan Yang di-Pertua, ahli sukan bukan sekadar pemain, bukan sekadar ahli sukan tetapi mereka manusia, insan, anak muda, bakal ibu bapa, malah mereka juga merupakan bakal pemimpin pada masa akan datang. Puan Yang di- Pertua, secara prinsipnya saya bersetuju bahawa tadbir urus sukan negara perlu diperkukuh. Jika ada badan sukan yang salah urus wang, gagal melindungi atlet, melanggar undang-undang ataupun merosakkan integriti sukan, kerajaan mesti mempunyai kuasa untuk bertindak.
Tetapi persoalan saya bukan sama ada kerajaan perlu mempunyai kuasa.
Persoalannya ialah apabila kuasa itu besar, adakah kawalannya juga cukup kuat?
Undang-undang yang baik bukan sahaja menentukan apa yang rakyat dan badan sukan tidak boleh lakukan. Undang-undang yang baik juga menentukan apa yang pemerintah tidak boleh lakukan.
Dalam tradisi hukum kita termasuk tradisi adat temenggung, hukum bukan sekadar untuk mendisiplinkan pihak yang diperintah, kuasa yang memerintah juga mesti mempunyai batas. Undang-undang bukan hanya rotan untuk orang di bawah.
Undang-undang juga pagar kepada orang yang berada di atas.
Puan Yang di-Pertua, dengan prinsip itu saya bangkitkan tiga perkara.
Beberapa perkara di sini. Yang pertama ialah seksyen 41A, kuasa pembatalan serta- merta. Akta sedia ada mempunyai satu prinsip yang baik. Sebelumnya Pesuruhjaya membatalkan atau menggantung pendaftaran sesebuah badan sukan. Badan itu diberi peluang untuk mengemukakan sebab selepas itu mereka mempunyai ruang untuk merayu.
Maksudnya mudah. Dengar dahulu sebelum menghukum. Tetapi seksyen 41A yang baru ini membolehkan Menteri mengisytiharkan sesuatu badan sukan sebagai menyalahi undang-undang jika ia digunakan bagi maksud yang memudaratkan keselamatan Malaysia, ketenteraman awam atau kemoralan.
Apabila perintah itu dibuat, pendaftarannya terbatal serta-merta. Jadi, saya minta Menteri jelaskan apakah ukuran bagi kemoralan? Apakah tahap yang perlu dicapai sebelum sesuatu tindakan dianggap menjejaskan ketenteraman awam? Dan sebelum sesebuah badan sukan kehilangan statusnya, adakah badan itu akan diberi notis, peluang menjawab dan alasan bertulis?
Saya tidak menyatakan Menteri hari ini akan menyalahgunakan kuasa.
Bukan itu isunya. Parlimen menggubal undang-undang bukan untuk seorang Menteri. Kita menggubal undang-undang untuk sesiapa sahaja yang akan memegang kuasa itu pada masa hadapan. Sebab itu saya mencadangkan seksyen 41A diperkemas, beri notis, berikan peluang menjawab, berikan alasan bertulis dan sediakan mekanisme semakan yang jelas.
Seksyen 25A, aset dan harta rayuan. RUU ini menyatakan bahawa apabila pendaftaran badan sukan dibatalkan, harta terletak hak pada Ketua Pengarah Insolvensi bagi tujuan penggulungan. Selepas hutang di liabiliti dan kos penggulungan diselesaikan, dalam keadaan tertentu aset lebihan boleh diarahkan kepada Kumpulan Wang Disatukan.
Tetapi akta sedia ada juga memberi tempoh 30 hari untuk merayu terhadap pembatalan oleh Pesuruhjaya. Jadi, soalan saya sangat kritikal. Apakah berlaku kepada aset sementara rayuan yang belum diputuskan?
Dato’ Sri Dr. Haji Ismail bin Abd Muttalib - Maran
Puan Yang di-Pertua, saya juga ingin bertanya dan berikan pandangan.
Sebenarnya saya juga minta agar pihak kerajaan memberikan perhatian kepada nasib atlet-atlet negara kita yang selama ini. Kalau kita lihat di akhir, di hujung penghidupan mereka, walaupun dulunya mereka memberikan nama yang cukup baik kepada negara, memberikan pingat yang cukup besar kepada negara.
Tetapi di akhir hayat mereka sebenarnya ramai daripada atlet-atlet kita ini hidup dalam keadaan susah, terbiar dan apakah langkah kerajaan dalam membela masa depan atlet-atlet ini? Biar nasib di hujung kehidupan mereka sejajar dengan nasib dan perjuangan dan pengorbanan yang pernah mereka lakukan pada negara.
Saya harap Menteri berikan perhatian, bukan sekadar kita nak ambil tindakan kepada badan-badan sukan tetapi pastikan supaya nasib masa depan atlet-atlet yang pernah berjasa kepada negara ini dapat kita bela.
Puan Yang di-Pertua, akhirnya saya tidak mahu perbahasan ini dilihat sebagai pilihan antara kerajaan yang kuat dengan badan sukan yang bebas. Itu pilihan yang salah, kita mahu kerajaan yang boleh bertindak, kita mahu badan sukan yang bertanggungjawab, kita mahu wang sukan dijaga, atlet dilindungi tetapi kita juga mahu proses yang adil kepada badan-badan sukan di negara kita. Puan Yang di- Pertua, saya mohon menyokong.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Terima kasih Yang Berhormat Maran. Saya jemput Yang Berhormat Bakri.
Tuan Tan Hong Pin - Bakri
Terima kasih Puan Yang di-Pertua. Saya ingin mengucapkan tahniah kepada kementerian kerana telah berusaha untuk mengemas kini kerangka undang-undang untuk membangunkan sukan di negara kita.
Bagaimanapun saya ingin mengambil kesempatan ini, kebetulan Menteri ada, bukan senang nak jumpa dia. Seperti apa yang disebut oleh rakan-rakan tadi di mana pembangunan sukan ini dia bukan sekadar dari segi kerangka undang-undang saja. Di mana pembangunan fasiliti kemudahan, penyelenggaraan dan juga perancangan jangka panjang, ia memainkan peranan lebih penting untuk memastikan bahawa kelestarian sesuatu acara sukan itu dapat melahirkan atlet yang terulung di negara kita.
Saya bagi satu contoh. Ini bukan satu acara yang baru, ini satu acara yang begitu lama dan begitu biasa tetapi sampai hari ini masih ada di sana sini kekurangan fasiliti iaitu acara sukan renang. Saya menghargai usaha KBS memperkenalkan kelas renang ya. Apa tu, program kemahiran asas latihan renang. Itu bagus tapi saya nak tanya selepas belajar berenang ini, ke manakah anak-anak kita nak berenang?
Adakah kita nak dia orang berenang di parit ataupun sungai? Sudah tentunya tidak.
Saya nak bagi tahu satu hakikat iaitu di Muar, di bandar Muar tiada satu pun kolam renang awam. Sejak bila? Sejak tahun 2013. Jadi saya nak tanya kepada Menteri, kalau acara-acara yang lama seperti ini juga menghadapi kekurangan fasiliti, kekurangan kemudahan, jadi macam mana kita nak melahirkan atlet yang berkualiti tinggi?
Di sini saya nak ingatkan Dewan yang mulia ini, berenang ini bukan sahaja satu acara sukan, dia juga bagi saya adalah satu kemahiran yang begitu asas, yang perlu setiap orang miliki. Sebab apa? Sebab dia dapat mengurangkan risiko mati lemas.
Di sini saya nak kongsikan beberapa statistik iaitu kes lemas yang melibatkan kanak-kanak dan remaja. Untuk tiga tahun yang lalu, 2023 hingga 2025, sebanyak 369 kes mati lemas, kes lemas. Dan menurut Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, sebanyak 619 panggilan kecemasan bagi tahun antara 2021 hingga April tahun ini.
Jadi adalah penting, adalah penting bahawa kementerian memberikan penekanan untuk membangunkan fasiliti, terutamanya kolam renang awam sekurang-kurang di setiap daerah. Jadi saya mohon, walaupun isu ini saya bawa sejak hari pertama saya duduk dalam Dewan yang mulia ini tetapi hari ini, sampai hari ini tiada respons yang positif. Menteri ada, saya minta supaya perkara ini diambil kira untuk pembinaan semula sebuah kolam renang awam di Muar, di bandar Muar.
Puan Yang di-Pertua, persatuan sukan memikul tanggungjawab yang besar terhadap atlet, pembangunan bakat dan penggunaan dana awam. Jadi, apabila pengurusannya lemah, kesannya boleh menjejaskan peluang atlet serta reputasi negara.
Namun adakah sebab itu kita perlu menambahkan kuasa yang mutlak kepada terutamanya dalam tangan satu orang tanpa disertai mekanisme pelaksanaan yang jelas. Pada 4 Jun 2026, penilaian Asian Football Confederation (AFC) terhadap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) meliputi 11 bidang dengan kebanyakan jabatan memperolehi antara 1.3 hingga 2 mata daripada markah penuh dia 5 mata.
Antara kelemahan yang dilakukan adalah audit dalaman, dokumentasi perolehan dan ketiadaan pegawai pematuhan khusus. Laporan itu turut menyatakan bahawa belanjawan tahunan tidak diluluskan secara formal oleh ahli sejak tahun 2016.
Ini telah membangkitkan persoalan tentang pemantauan dan pelaksanaan prosedur yang sepatutnya menjadi asas pengurusan sesebuah persatuan. Seksyen baharu 19B membolehkan Pesuruhjaya mengarahkan supaya pindaan Perlembagaan dibuat. Kuasa ini berguna apabila Perlembagaan tidak mematuhi undang-undang ataupun mengandungi kekaburan.
Namun, jika masalahnya ialah prosedur yang tidak dilaksanakan maka pindaan dokumen tidak akan menyelesaikan masalah ini. Saya meminta supaya kementerian mewujudkan penilaian tadbir urus yang berkala khususnya bagi persatuan yang menerima dana awam. Penilaian perlu melihat kelulusan belanjawan, kawalan perolehan, konflik kepentingan, audit dalaman dan pelaksanaan rancangan pembangunan.
Seksyen baharu 41A membolehkan Menteri untuk mengisytiharkan sesuatu badan sukan sebagai menyalahi undang-undang. Atas alasan keselamatan negara, ketenteraman awam atau moral. Pendaftarannya kemudiannya dibatalkan serta- merta. Saya faham dan kadangkala ada keadaan memerlukan tindakan tegas seperti ini namun kesan pembatalan sesebuah persatuan itu amat besar. Maka perlulah disertai dengan alasan, bukti dan skop tindakan untuk diperiksa.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Masa sudah tamat.
Tuan Tan Hong Pin - Bakri
Di bawah undang-undang sedia ada, rayuan tertentu terhadap keputusan pesuruhjaya boleh dibuat kepada Menteri tetapi apabila keputusan asal di bawah 41A dibuat oleh Menteri sendiri, apakah mekanisme semakan bebas yang tersedia.
Semakan kehakiman boleh menjadi saluran untuk mencabar keputusan ini tetapi ia berbeza daripada rayuan yang menilai semula keputusan mengikut bidang kuasa yang diberikan. Jadi, saya mencadangkan supaya kewajipan untuk memberikan alasan bertulis, peluang untuk memberikan penjelasan sebelum tindakan bagi kes bukan kecemasan serta semakan bebas yang segera bagi tindakan kecemasan.
Mekanisme ini perlu membolehkan langkah sementara untuk dipertimbangkan untuk mengelakkan kerosakan yang sukar dipulihkan. Itu sahaja walaupun ada banyak lagi.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Terima kasih Yang Berhormat Bakri.
Tuan Tan Hong Pin - Bakri
Tuan Yang di-Pertua tegas, saya minta diri dulu.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Saya jemput Yang Berhormat Kepala Batas.
Dr. Siti Mastura binti Muhammad - Kepala Batas
Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih Puan Yang di-Pertua di atas ruang yang diberikan.
Puan Yang di-Pertua, Akta Pembangunan Sukan 1997 lahir hampir tiga dekad yang lalu. Tapi anak muda Malaysia daripada tahun 2026 tidak hidup di dalam dunia tahun 1997. Hari ini sukan bukan sekadar soal siapa menang, siapa kalah di padang. Sukan berkait dengan keselamatan, integriti, tadbir urus, pembangunan insan dan juga ekonomi negara.
Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, nilai ditambah kasar industri sukan pada 2024 mencapai 24.1 bilion bersamaan 1.3 peratus KDNK negara.
Dr. Siti Mastura binti Muhammad - Kepala Batas
Jadi, persoalan kita hari ini bukan sekadar perlukah undang-undang sukan kita dikemas kini, namun persoalan lebih besar, apakah ekosistem sukan yang kita mahu bina untuk generasi yang akan datang?
Bagi Kepala Batas, ada beberapa perkara yang perlu diutamakan. Yang pertama, modenkan undang-undang tetapi ukur kejayaan melalui hasil.
Puan Yang di-Pertua, Kepala Batas menyokong usaha memastikan kerangka undang-undang sukan sentiasa relevan dengan perkembangan zaman.
Alhamdulillah, akta ini telah melalui beberapa pengemaskinian. Namun, hal ini menunjukkan bahawa undang-undang memang perlu berkembang tetapi ukuran kejayaan tidak boleh terhenti pada beberapa perkara, terutama dalam bab peruntukan yang dipinda.
Kita wajar melihat hasilnya. Adakah tadbir urus badan sukan bertambah baik?
Adakah pertikaian dapat diselesaikan dengan lebih adil? Adakah atlet lebih terlindung? Adakah pembangunan sukan benar-benar berlaku pendaftaran, bukan kejayaan? Pendaftaran ialah permulaan. Kejayaan sebenar ialah apa yang berlaku selepas pendaftaran. Kita tidak mahu undang-undang hanya kuat di atas kertas tetapi lemah apabila diuji di lapangan.
Yang kedua, penguatkuasaan mesti kuat tetapi mesti dipercaya. Puan Yang di-Pertua, Kepala Batas tidak menolak keperluan kepada penguatkuasaan yang berkesan. Pesuruhjaya Sukan mempunyai peranan penting berkaitan pendaftaran, pemantauan serta tindakan terhadap badan sukan sebagaimana diperuntukkan oleh undang-undang.
Namun, apabila kuasa penguatkuasaan digunakan, prosedurnya mesti jelas.
Bagaimana maklumat dikendalikan? Bagaimana dokumen dan rekod dilindungi?
Bagaimana pihak yang terkesan boleh menggunakan mekanisme pertikaian ataupun rayuan yang tersedia?
Ini bukan soal mahu melemahkan penguatkuasaan, sebaliknya Kepala Batas mahu penguatkuasaan yang cukup kuat dan dipercayai. Ini kerana kekuatan undang- undang bukannya terletak kepada kuasa untuk mengambil tindakan tetapi kekuatan undang-undang juga terletak kepada ketelusan prosedur, konsistensi pelaksanaan dan akauntabiliti terhadap keputusan. Dalam bahasa yang mudah, kita mahu undang-undang yang tegas tetapi pada masa yang sama adil.
Yang seterusnya, ketiga, atlet mesti menjadi pusat ekosistem termasuk dalam dunia digital. Puan Yang di-Pertua, dalam kita bercakap tentang persatuan, badan sukan, pentadbiran dan penguatkuasaan, jangan kita lupa siapa yang berada di tengah-tengah semua ini. Tentulah atlet.
Kita sudah mempunyai kerangka keselamatan dalam akta, kita juga mempunyai kod sukan selamat yang menyediakan garis panduan berkaitan persekitaran sukan yang selamat serta tanggungjawab komuniti sukan dalam menangani gangguan dan juga penderaan. Tetapi, persoalan sebenar bukan sekadar adakah kita mempunyai polisi, persoalannya, adakah atlet benar-benar merasakan mereka dilindungi? Atlet mesti tahu ke mana hendak mengadu. Atlet mesti yakin bahawa aduan mereka dikendalikan dengan sewajarnya dan pertikaian mesti dapat diselesaikan secara adil dan berkesan.
Namun, Puan Yang di-Pertua, definisi keselamatan sukan juga sedang berubah. Anak muda hari ini bukan hanya bermain di padang. Sebahagian daripada mereka bersukan dan berkompetensi dalam ruang digital melalui e-sukan dan juga gaming.
Maka, apabila kita bercakap tentang keselamatan atlet, kita juga bercakap tentang keselamatan digital. Kepala Batas menyokong usaha membangunkan e- sukan sebahagian daripada ekosistem negara, tetapi kita tak boleh menutup mata malah terhadap wujudnya risiko-risiko wujud dalam dunia digital.
Kita telah melihat satu kebimbangan berkaitan platform permainan dalam talian seperti mana Roblox. Ada laporan daripada Timbalan Ketua Polis Negara menyatakan, pada siasatan awal, wujudnya kaedah perekrutan kumpulan militan dan juga ekstremis telah berubah daripada pertemuan fizikal kepada platform dalam talian termasuk permainan video seperti Roblox.
Kepala Batas tekankan, ini bukan hujah untuk mengharamkan permainan dan bukan juga hujah bahawa setiap anak yang bermain Roblox itu akan terlibat dengan jenayah. Tetapi, Kepala Batas berhujah apabila teknologi berubah, konsep keselamatan juga berubah.
Jika dahulu kita bertanya adakah gelanggang ini selamat, hari ini kita juga mesti bertanya, adakah ruang digital ini selamat untuk anak-anak kita. Bagaimana kandungan berbahaya dapat dikesan, bagaimana manipulasi dan eksploitasi dilaporkan, bagaimana ibu bapa mendapat sokongan, bagaimana golongan muda dilindungi daripada perekrutan ekstremis dan apabila berlaku kemudaratan, siapa yang bertanggungjawab?
Dalam tasawur Islam, teknologi ialah alat, bukan matlamat. Justeru, kita mahu anak muda menang di dalam permainan, bukan permainan yang menang terhadap anak muda. Kita mahu e-sukan melahirkan bakat, disiplin, kerjaya, bukan menjadi ruang yang mudah dieksploitasi oleh pihak yang mahu memanipulasi anak muda.
Puan Yang di-Pertua, apabila industri sukan bernilai RM24.1 bilion, kita perlu melihat sukan bukan hanya sekadar aktiviti riadah tetapi sebagai sebahagian daripada pembangunan ekonomi dan masyarakat. Tetapi, Kepala Batas ingin bertanya, siapa yang menikmati peluang daripada pertumbuhan ini? Bagaimana dengan persatuan kecil? Bagaimana dengan kawasan luar bandar? Bagaimana dengan anak muda yang mempunyai bakat tetapi tidak mempunyai kemudahan dan sumber yang mencukupi?
Kerajaan sudah menyediakan inisiatif seperti Dana Sukan Komuniti yang menyokong program pembangunan sukan di peringkat komuniti. Maka, penting sekarang ialah memastikan kesinambungan, keberkesanan dan liputan usaha tersebut. Kepala Batas tidak mahu pembangunan sukan hanya melihat di stadium besar, Kepala Batas mahu ia dirasai di gelanggang komuniti, sekolah, kampung, kawasan pedalaman dan setiap daerah.
Bagi seorang anak muda, sebuah gelanggang yang baik mungkin kelihatan kecil pada kita, tapi pada dia, gelanggang itu mungkin tempat dia menemui bakat, tempat dia belajar disiplin, tempat dia bina keyakinan dan mungkin tempat dia memulakan kerjaya sebagai seorang atlet.
Anak muda di Kepala Batas mesti mempunyai peluang untuk membangunkan bakat mereka sebagaimana anak muda di mana-mana kawasan lain di negara ini dan kita tidak boleh bercakap tentang industri sukan bernilai berbilion ringgit jika anak muda di akar umbi masih bertanya, “Di mana tempat saya untuk bermula?”.
Puan Yang di-Pertua, akhirnya, Kepala Batas menyokong usaha memastikan kerangka pembangunan sukan negara terus relevan dengan zaman. Walau bagaimanapun, kita tidak mahu hanya melahirkan juara tetapi kita mahu membina sistem yang mampu melahirkan juara.
Sekian, terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Terima kasih, Yang Berhormat Kepala Batas. Saya jemput Yang Berhormat Kinabatangan.
Tuan Mohd Kurniawan Naim bin Moktar - Kinabatangan
Terima kasih Puan Yang di-Pertua kerana memberikan ruang kepada Kinabatangan untuk mengambil bahagian dalam perbahasan Rang Undang-undang Pembangunan Sukan (Pindaan) 2026.
Kinabatangan pada prinsipnya menyokong pindaan kepada Akta Pembangunan Sukan 1997 atau Akta 576. Selepas hampir tiga dekad berkuat kuasa, sudah tentu kerangka perundangan ini perlu diperkemas agar selari dengan perkembangan dan cabaran ekosistem sukan hari ini.
Saya melihat beberapa pindaan yang dicadangkan mempunyai kepentingan yang besar. Pertama, pengukuhan tadbir urus badan sukan. Seksyen baharu 19A hingga 19C antara lain memperjelas kedudukan harta benda sukan yang dibatalkan, memberikan kuasa kepada Pesuruhjaya Sukan untuk mengarahkan pindaan perlembagaan badan sukan dan mensyaratkan perubahan tertentu seperti nama, tempat urusan serta kaedah-kaedah badan sukan mendapat kelulusan pesuruhjaya.
Saya bersetuju bahawa badan sukan perlu telus dan bertanggungjawab.
Tapi, apabila kuasa regulator diperluaskan, semak dan imbang juga mesti diperkukuh. Sehubungan itu, saya memohon agar Menteri menjelaskan, apakah mekanisme rayuan sekiranya sebuah badan sukan tidak bersetuju dengan arahan pesuruhjaya? Adakah setiap keputusan perlu diberikan bersama alasan bertulis?
Supaya tidak timbul persepsi campur tangan berlebihan terhadap autonomi badan sukan.
Kedua, saya menyambut baik penyelesaian terhadap isu harta, hutang dan liabiliti badan sukan yang dibatalkan. Seksyen 25A hingga 25C menyediakan mekanisme yang lebih jelas termasuk pengurusan harta melalui Ketua Pengarah Insolvensi serta pemilihan harta, hutang dan liabiliti kepada badan sukan baharu. Ini penting supaya pembatalan sebuah badan tidak menyebabkan aset, hutang dan tanggungjawabnya tergantung tanpa penyelesaian.
Ketiga, pindaan ini juga memperkenalkan Bahagian VIA mengenai penguatkuasaan dan penyiasatan termasuk kuasa pemeriksaan, waran geledah, penyitaan dan penzahiran dokumen. Pada masa yang sama, saya menyokong pengukuhan aspek anti doping dan sukan selamat khususnya usaha melindungi komuniti sukan daripada salah laku, penderaan dan gangguan.
Puan Yang di-Pertua, namun, setelah kita bercakap mengenai pendaftaran, pematuhan, penyiasatan dan penguatkuasaan, saya ingin membawa perhatian Dewan kepada satu persoalan yang lebih mendasar. Adakah kita memberikan perhatian yang sama besarnya kepada pembangunan sukan itu sendiri? Hakikatnya, potensi kita amat besar. Sabah sendiri, misalnya, telah terbukti berupaya melahirkan bakat-bakat sukan sehingga ke peringkat antarabangsa.
Sabah mempunyai Eddy Bernard, pemenang pingat gangsa Sukan Paralimpik Paris 2024; Andre Anura Anuar, pemenang pingat emas Sukan SEA Thailand; Adeola Fay Robert, juara kumite wanita bawah 55 kilogram di Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026; dan Irene Jane Henry yang membawa nama Sabah dan Malaysia ke podium Sukan Komanwel Glasgow 2026.
Nama-nama ini membawa saya kepada satu persoalan iaitu berapa ramai lagi Eddy Bernard, Andre Anura, Adieola dan Irene yang berada di kampung- kampung dan sekolah-sekolah pedalaman Sabah tapi belum pernah ditemukan oleh sistem pembangunan sukan kita.
Masalah Sabah bukan kekurangan bakat. Masalahnya ialah akses kepada peluang, jarak antara daerah yang jauh, kos membawa atlet ke kejohanan yang tinggi, kemudahan berkualiti banyak tertumpu di pusat bandar. Sekolah luar bandar pula berhadapan kekurangan jurulatih bertauliah, peralatan dan pertandingan kompetitif secara berterusan. Bayangkan, sebuah daerah Kinabatangan yang seluas negeri Johor sehingga hari ini masih belum wujud kompleks sukan Kinabatangan dan saya berharap agar Menteri dapat menjadikan pewujudan ini sebagai agenda utama kementerian.
Tuan Mohd Kurniawan Naim bin Moktar - Kinabatangan
Sampai bila atlet olahraga saya terpaksa berlari, berlatih di jalan raya?
Sampai bila atlet renang saya terpaksa berlatih di sungai dan diancam buaya lagi?
[Ketawa] Jadi, mohonlah Menteri mengambil maklum.
Justeru itu— sebab itu, saya juga turut mencadangkan KBS bersama KPM membangunkan model kluster sukan luar bandar. Beberapa sekolah dalam satu kawasan boleh berkongsi jurulatih, fasiliti, peralatan dan pertandingan. Pada masa yang sama, kerajaan perlu mengenal pasti kebitaraan sukan setiap sekolah atau daerah. Tidak perlu semua sekolah cuba membangunkan semua jenis sukan. Kalau sesuatu kawasan mempunyai kekuatan olahraga, fokuskan olahraga. Kalau mempunyai tradisi karate, rugby, angkat berat atau bola sepak, bina ekosistem tersebut secara tersusun.
Puan Yang di-Pertua, sektor korporat juga boleh memainkan peranan. Tapi kita perlu bergerak daripada CSR berbentuk sumbangan kepada CSR berbentuk pembangunan. Jangan sekadar beri bola, jersi atau cheque setahun sekali. Oleh itu, saya mencadangkan agar program satu syarikat, satu kluster sukan luar bandar.
Dengan komitmen tiga hingga lima tahun merangkumi jurulatih, peralatan, penyelenggaraan, kemudahan sains sukan dan pendedahan pertandingan diwujudkan. Namun saya tegaskan, CSR mesti menjadi pelengkap, bukan pengganti tanggungjawab kerajaan.
Puan Yang di-Pertua, pindaan hari ini penting kerana kita mahu badan sukan yang lebih berintegriti, selamat dan betul menyeluruh. Tetapi jangan kita hanya membina sistem yang semakin cekap mengawal sukan tanpa pada masa yang sama, membina sistem yang semakin cekap membangunkan sukan.
Akhir kata, Kinabatangan menyokong rang undang-undang ini. Sekian, terima kasih.
[Tepuk]
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Terima kasih Yang Berhormat Kinabatangan. Saya jemput Yang Berhormat Machang.
Tuan Wan Ahmad Fayhsal bin Wan Ahmad Kamal - Machang
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Terima kasih Yang Berhormat Menteri kerana sudi membentangkan rang undang-undang yang penting ini.
Tapi dalam banyak-banyak perbahasan, kalau kita teliti dan nilai, hampir kesemua Ahli-ahli Parlimen mengadu, merintih berkenaan dengan bagaimana aspek pembangunan sukan di peringkat akar umbi, di kampung-kampung, khususnya di luar bandar, masih lagi ada jurang yang cukup besar.
Dan dalam rang undang-undang ini, tidak banyak ditekankan tentang aspek tersebut. Bagaimana rang undang-undang ini boleh memperkasakan, merapatkan jurang yang melibatkan pembangunan sukan di luar bandar di bawah bahagian pembangunan sukan di dalam Jabatan Belia dan Sukan Negara, di bawah KBS.
Tuan Yang di-Pertua, saya nak bagi mungkin dorongan kepada Yang Berhormat Menteri. Yang Berhormat Menteri berada di sebuah kementerian yang sebenarnya sangat-sangat penting. Maha penting ketika ini. Ketimbang Kementerian Pendidikan. Kenapa saya kata begitu? Kerana kalau Kementerian Pendidikan gagal menyelesaikan masalah yang melibatkan disiplin pelajar, masalah jenayah pelajar, Kementerian Belia dan Sukan adalah kementerian kedua yang sepatutnya menjadi penawar kepada masalah ini.
Kenapa saya kata begitu? Kerana di peringkat Kementerian Belia dan Sukan, sukan adalah alat penyatuan, perpaduan dan juga alat memerangi kebejatan sosial yang berada di akar umbi. Saya ambil contoh apa yang berlaku di Iceland. Kita tahu di Malaysia, Menteri Dalam Negeri tadi cakap tentang bagaimana kadar penagih yang cukup banyak. Dalam KBS sendiri, berbelas tahun kita lancarkan Program Belia Benci Dadah dengan Rakan Muda. Saya pun pernah terlibat sewaktu zaman student dulu. Menteri Undang-undang masa itu Menteri Belia Sukan.
Dan saya ambil contoh di Iceland. Di Iceland, kerajaan mereka melancarkan, membiayai sukan dan aktiviti berstruktur untuk remaja secara besar-besaran. Dalam tempoh kira-kira dua dekad, kadar remaja berumur 15 dan 16 tahun yang mabuk dalam sebulan terakhir jatuh daripada sekitar 42 peratus hingga lima peratus. Jadi, saya nampak rang undang-undang ini boleh diperkasakan selagi kita tekankan tentang atlet-atlet yang high performance sports, dengan izin, juga mengambil kira bagaimana saya bagi contoh tadi, how sports can be a remedy for drug abuse and addiction, dengan izin.
Tuan Yang di-Pertua dan Yang Berhormat Menteri, kita — saya tahulah Yang Berhormat Menteri baharu dilantik dan masa tak banyak tapi jangan bimbang. Yang Berhormat Menteri boleh tanam benih-benih yang akan menjadi pokok yang tak lama lagi, insya-Allah. Walaupun Yang Berhormat Menteri mungkin berdepan dengan kesukaran ya untuk menjalankan misi ini.
Sebab kita lihat bagaimana Jepun. Jepun berjaya melaksanakan program pembangunan sukan dengan penuh istiqamah walaupun kecil-kecilan. Ambil contoh, J.League bola sepak dan visi 100 tahun bola sepak Jepun. J.League mula pada 1993, lebih lambat daripada Malaysia tapi dan ketika itu pula, Jepun berdepan dengan Plaza Accord. Ekonomi Jepun yang begitu hebat, akhirnya kecundang.
Dalam tempoh itu, Jepun tetap meneruskan program pembangunan sukan dengan meletakkan agenda membuka kelab-kelab sukan di bandar-bandar walaupun tanpa dukungan korporat yang penuh. Kerana Jepun melibatkan keseluruhan masyarakat.
Dan di Jepun ada satu polisi dasar pembangunan sukan yang agak unik yang saya rasa KBS perlu contohi.
Hari itu Yang Berhormat Menteri pergi Jepun, pergi tengok Seiko punya muzium tapi mungkin akan datang boleh pergi tengok bagaimana Jepun melaksanakan Dasar Sogogata Chiiki Supotsu Kurabu iaitu kelab sukan komuniti menyeluruh di Jepun. Kelab sukan ini dibangunkan antara kerjasama kementerian, jabatan sukan Jepun — persatuan sukan Jepun dan juga keseluruhan komuniti, termasuk syarikat-syarikat. Dan ia melibatkan semua lapisan masyarakat, daripada muda sampai yang orang tua, veteran. Dan semua jenis sukan, bukan hanya sukan- sukan high performance sports.
Hasil daripada istiqamah dasar ini, lahir bintang-bintang seperti Wataru Endo yang main di Liverpool melalui kelab sistem belia Shonan Bellmare di Hiratsuka, contohnya. Dan banyak lagi sebenarnya contoh-contoh ini. Dan di Malaysia pun, kita sudah ada bayang-bayang seperti apa yang saya katakan tadi di Jepun. Kita ada Akademi Mokhtar Dahari, kita ada MSSM, kita ada kelab kampung dan persatuan daerah. Apa yang tak ada ialah sistem yang menghubungkan semuanya. Akta yang mewajibkan sistem itu wujud.
Saya mengharapkan blue bill ini membawa aspirasi ini tapi nampaknya lebih kepada administratif. Dan apa yang dibahaskan oleh semua Ahli Parlimen tadi mengharapkan apa yang saya bangkitkan tadi, Yang Berhormat Menteri.
Jadi Yang Berhormat Menteri, kita perlu perkasakan KBS. Jangan anak tirikan Jabatan Belia dan Sukan Negara, jangan anak tirikan pegawai belia dan sukan, pegawai S ini. Mereka ini sebenarnya denyut nadi pelaksanaan agenda pembangunan belia dan sukan di ceruk-ceruk kampung. Saya tahu belia kampung banyak terputus dengan maklumat dan bantuan daripada KBS. Di Machang, di semua tempatlah. Lagi-lagi tempat pembangkang. Jadi, saya harap nak bantu selesaikan masalah disiplin, kes jenayah pelajar, dadah dan macam-macam lagi, kuncinya ada pada sukan dan belia.
Jadi Yang Berhormat Menteri, you can be a hero for your party, for the government. I'm giving you tips untuk membantu selesaikan masalah ini dengan syarat, akan datang tambah baik Rang Undang-undang Pembangunan Sukan ini seperti yang saya cadangkan tadi. Terima kasih Timbalan Yang di-Pertua.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Terima kasih Yang Berhormat Machang, saya jemput Yang Berhormat Batu Pahat.
Tuan Haji Onn bin Abu Bakar - Batu Pahat
Terima kasih Tuan Yang di- Pertua. Terima kasih kerana memberi ruang kepada saya untuk mengambil bahagian dalam perbahasan RUU Pembangunan Sukan (Pindaan). Terima kasih juga kepada bapak Menteri yang setia mendengar perbahasan daripada awal lagi.
Batu Pahat menyokong usaha kerajaan melalui Kementerian Belia dan Sukan untuk memperkemaskan Akta Pembangunan Sukan 1997 supaya lebih relevan dengan perkembangan industri sukan. Hari ini sukan negara sudah jauh berubah. Ia bukan lagi semata-mata soal pertandingan ataupun pingat. Hari ini sukan melibatkan tadbir urus kewangan, aset, keselamatan atlet, integriti, anti-doping dan kepentingan negara. Sebab itu undang-undang kita juga perlu bergerak seiring.
Pertama, mengenai tadbir urus badan sukan. Batu Pahat melihat pindaan seksyen 19A, 19B dan 19C sebagai satu langkah penting. Pesuruhjaya Sukan diberikan kuasa yang lebih jelas, termasuk membuat arahan bertulis supaya badan sukan meminda perlembagaan mereka serta mengawal perubahan nama, tempat urusan dan kaedah badan sukan.
Batu Pahat juga bersetuju kita perlukan pengawasan yang lebih berkesan.
Tetapi pada masa yang sama, Batu Pahat ingin bertanya kepada Menteri. Apakah mekanisme semak dan imbang supaya kuasa yang lebih besar ini tidak menyebabkan campur tangan berlebihan terhadap badan-badan sukan? Kita mahu badan sukan di tadbir dengan baik tetapi kita juga mahu mereka mempunyai autonomi yang munasabah untuk menguruskan sukan masing-masing.
Tuan Haji Onn bin Abu Bakar - Batu Pahat
Yang kita mahu ialah hapuskan salah guna kuasa, salah urus kewangan, pentadbiran yang tidak telus, bukannya kebebasan badan sukan untuk berkembang.
Kedua, mengenai aset, hutang dan liabiliti badan sukan. Batu Pahat menyambut baik pindaan seksyen 25A dan 25B yang cuba menyelesaikan persoalan apabila sesebuah badan sukan dibatalkan pendaftarannya. RUU ini menyediakan mekanisme supaya harta badan sukan berkenaan boleh diurus oleh Ketua Pengarah Insolvensi dan seterusnya dipindahkan kepada badan sukan baru bersama hutang serta liabiliti bagi memastikan kelangsungan pengurusan dan kewangannya. Ini penting tapi Batu Pahat mahu mendapatkan penjelasan Menteri, bagaimana pula wang atau aset yang asalnya diperolehi melalui peruntukan kerajaan, sumbangan penaja ataupun kutipan daripada ahli. Siapakah yang akan memastikan setiap ringgit dan setiap aset itu dapat dijejaki?
Batu Pahat juga mencadangkan supaya bagi kes yang melibatkan nilai aset yang besar diwujudkan audit dan penyata penutupan yang jelas supaya aset dipindahkan kepada badan sukan yang baru. Jangan berlaku badan lama dibubarkan, badan baru diwujudkan tetapi masalah lama dan persoalan kewangan tidak pernah diselesaikan.
Ketiga, Batu Pahat –– mengenai bahagian penguatkuasaan dan penyiasatan.
RUU ini memperkenalkan seksyen 32A hingga 32H termasuk pelantikan pegawai penguat kuasa, kuasa pemeriksaan, penzahiran dan penyitaan dokumen serta permohonan dan pengeluaran waran geledah. Batu Pahat faham kenapa kuasa ini diperlukan tetapi apabila kita memberikan kuasa penguatkuasaan yang besar, kita juga mesti menyediakan garis sempadan yang jelas.
Batu Pahat mohon Menteri menjelaskan apakah latihan, SOP dan mekanisme akauntabiliti yang akan dikenakan kepada pegawai penguat kuasa kerana kita mahu penguatkuasaan yang tegas tapi dalam masa yang sama, mesti adil, profesional dan tidak disalahgunakan.
Batu Pahat juga menyambut baik seksyen 36A yang menetapkan bahawa pendakwaan hanya boleh dimulakan setelah mendapat keizinan bertulis dari pendakwa raya. Ini merupakan satu bentuk semak dan imbang yang penting.
Keempat, mengenai perkara yang sangat penting iaitu sukan selamat dan anti-doping. Pindaan ini memberi punca kuasa kepada Menteri untuk membuat peraturan berkaitan pematuhan kewajipan antarabangsa mengenai anti-doping serta perkara berkaitan sukan selamat. Tujuannya adalah termasuk melindungi komuniti sukan daripada salah laku, penderaan dan gangguan.
Batu Pahat ingin juga bertanya kepada Menteri, adakah kerajaan bercadang mewujudkan satu saluran aduan yang benar-benar bebas, selamat dan sulit untuk atlet membuat laporan tanpa takut kedudukan atau masa depan mereka terjejas.
Akhir sekali Tuan Yang di-Pertua, Batu Pahat berharap sambil kita memperkukuhkan undang-undang dan tadbir urus di peringkat atas, kementerian juga memperkukuhkan ekosistem sukan di peringkat akar umbi dan daerah. Dengan penyataan ini, saya menyokong Rang Undang-undang Pembangunan Sukan
(Pindaan) 2026 untuk dipertimbangkan dan diluluskan di Dewan ini. Sekian, terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Terima kasih Yang Berhormat Batu Pahat. Saya jemput Yang Berhormat Sipitang.
Datuk Matbali bin Musah - Sipitang
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera, salam Malaysia MADANI. Terima kasih Dato’ Yang di-Pertua kerana mengizinkan Sipitang untuk turut serta dalam perbahasan ke atas Rang Undang-undang Pembangunan Sukan (Pindaan) 2026 ini.
Ke kampung Ulu Bole mencari rotan, Singgah sekejap di Weston lama; Kalau sukan mahu dimartabatkan, Pindaan ini mestilah diutama. Dato’ Yang di-Pertua, pada hemat Sipitang, pindaan ini hadir tepat pada waktunya kerana dunia sukan kita telah berkembang, masyarakat juga sudah berubah dan cabaran pengurusan sukan kini semakin kompleks. Justeru, undang- undang tidak boleh berjalan perlahan, sedangkan zaman berlari pantas. Sipitang melihat pindaan ini sebagai usaha untuk membina kerangka perundangan lebih relevan, responsif dan berkesan. Akta Pembangunan Sukan 1997 [Akta 576] telah menjadi asas penting dalam pentadbiran sukan negara. Namun setelah sekian lama, beberapa ruang perlu diperjelas supaya pentadbiran, pemantauan dan penguatkuasaan dapat bergerak dengan lebih tersusun.
Dalam hal ini, Sipitang melihat kepentingan peruntukan memberikan kuasa yang jelas dan khusus kepada Menteri untuk memberikan pengecualian bukan sahaja daripada peruntukan utama Akta 576, malah mana-mana perundangan subsidiari yang dibuat di bawahnya. Begitu juga dengan cadangan kuasa Menteri untuk mengisytiharkan sebuah badan sukan sebagai menyalahi undang-undang bagi tujuan pembatalan. Pada prinsipnya, kita perlu memastikan badan sukan tidak digunakan sebagai ruang untuk menjalankan aktiviti yang boleh memudaratkan atau bertentangan dengan keselamatan negara, ketenteraman awam dan terpalit isu moral.
Pada kesempatan ini Dato’ Yang di-Pertua, izinkan saya membawa suara warga Sipitang di Dewan yang mulia ini. Bagi saya, pembangunan sukan tidak boleh hanya berlegar di bandar-bandar besar. Kalau kita benar-benar mahu melahirkan juara, kita mesti membina gelanggang di kampung, menyediakan padang di daerah dan membuka ruang kepada anak-anak di luar bandar. Juara tidak semestinya lahir di stadium besar, kadang-kadang juara bermula di gelanggang kecil sebuah kampung nun jauh terpencil.
Sipitang adalah saksi mata tempat lahirnya beberapa legenda sukan dan atlet. Antaranya termasuk Andrew Laban, Harun Laban, Runi Harun, Makri Balang, Whelton Antah dalam sukan bola sepak. Terbaru, nama atlet asal Sipitang, Gerfan Nigel Frank menyinar di balapan yang memenangi pingat emas di Sukma Selangor 2026 dalam acara lompat bergalah lelaki dengan catatan 4.55 meter. Pada usia 16 tahun, anak muda ini mempunyai potensi besar untuk menjadi salah seorang atlet terkenal Sabah.
Sipitang juga mengharumkan nama Sabah di pentas sukan dunia pada tahun 2023 apabila pemenang pertama pingat gangsa kontinjen Malaysia pada Kejohanan Terbuka Memanah Tradisional Eropah (ETO) di Jerman. Pada kejohanan yang sama, Rohayati Tarip @ Tariff juga dari Sipitang turut menduduki tempat keempat yang tentunya menjadi kebanggaan kami.
Justeru, saya ingin meminta kepada Kementerian Belia dan Sukan supaya dapat kiranya kemudahan di Kompleks Sukan Sipitang dipertingkatkan lagi.
Kompleks ini merupakan ruang utama warga setempat untuk beriadah, bersukan dan menjalankan aktiviti komuniti. Kita mahu kemudahannya lebih selesa, lebih selamat, lebih sesuai dengan keperluan masyarakat hari ini.
Kedua, saya ingin membawa perhatian kepada perkembangan pickleball dan badminton di Sipitang. Saya ingin membawa perhatian kepada perkembangan pickleball di Sipitang ini kerana kita lihat minat masyarakat kedua-dua sukan ini semakin berkembang. Maka, kemudahan lebih baik amat diperlukan, khususnya gelanggang selesa dengan kadar sewa yang berpatutan dan mampu dicapai oleh keluarga serta anak-anak muda.
Difahamkan kemudahan seumpama ini terdapat di Kampung Sungai Baular, Naluyan, Mesapol, Jalan Bypass Pelakat, Kampung Tunggul Tinggi, Sipitang mendapat sambutan yang menggalakkan. Ini membuktikan bahawa apabila kita menyediakan kemudahan, rakyat akan menggunakannya.
Ketiga, menaik taraf fasiliti dan kemudahan sukan di Kompleks Sukan Beaufort di mana sebahagian daerah ini termasuk dalam kawasan Parlimen Sipitang.
Ketika ini, ia mempunyai kemudahan asas seperti trek larian, padang bola sepak, gelanggang terbuka yang boleh digunakan untuk sukan bola tampar, bola keranjang dan futsal. Adalah dicadangkan supaya kementerian menambahkan kemudahan di kompleks ini seperti dewan permainan, padang hoki, lawn bowl, kolam renang dan lampu limpah padang bola sepak. Ini penting kerana daerah ini khususnya dan di bahagian [Tidak jelas] yang merangkumi daerah Beaufort, Sipitang, Kuala Penyu dan Membakut masih belum mempunyai sebarang kemudahan sukan seperti ini untuk kegunaan masyarakat setempat.
Perlu diakui bahawa anak-anak belia di kawasan ini juga mempunyai impian, bakat dan semangat yang sama. Justeru, mereka mesti disediakan gelanggang untuk bermain, ruang untuk berlatih dan peluang untuk menyerlah.
Akhirnya Dato’ Yang di-Pertua, Sipitang menyokong Rang Undang-undang Pembangunan Sukan (Pindaan) 2026 ini dengan iltizam dan harapan agar ia benar- benar menjadi pemangkin kepada sukan yang lebih berintegriti, lebih selamat, lebih tersusun dan lebih insklusif.
Kalau hendak membeli lokan, Pastikan ada sambalnya sekali; Kalau hendak majukan sukan, Mestilah sokong pindaan ini. Sekian, Sipitang mohon menyokong. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Terima kasih Yang Berhormat Sipitang. Saya jemput Yang Berhormat Rantau Panjang.
Dato’ Hajah Siti Zailah binti Mohd Yusoff - Rantau Panjang
Ya.
Bismillahirrahmanirrahim, assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih Puan Yang di-Pertua kerana memberi peluang kepada saya untuk sama-sama membahaskan RUU Akta Pembangunan Sukan (Pindaan) 2026 dan tahniah saya ucapkan kepada kementerian di atas usaha untuk tambah baik akta ini.
Rata-rata kita mengetahui di antara isu besar di negara kita ialah kemudahan sukan terutama di kawasan luar bandar. Jadi, saya ingin tahu sejauh mana usaha yang dibuat oleh pihak kementerian terutama di kawasan pedalaman, kawasan yang terdedah dengan banjir yang sangat kurang fasiliti yang mesra untuk anak muda yang sebenarnya mereka ramai bakat-bakat di pedalaman tetapi kerana kurangnya kemudahan menyebabkan terhad latihan dan peluang untuk mereka terlibat dengan aktiviti sukan.
Dato’ Hajah Siti Zailah binti Mohd Yusoff - Rantau Panjang
Jadi, saya harap supaya perhatian diberi kepada, di seluruh negara terutama kawasan yang sangat memerlukan.
Tuan Yang di-Pertua, saya ingin menyentuh berkaitan dengan fasal 11 berkaitan dengan pindaan subseksyen 38(2) dalam akta ini di mana di, berhubung dengan berkaitan dengan pindaan berkaitan dengan anti-doping dan apa-apa perkara yang berhubung dengan sukan selamat. Saya ingin tahu, apakah maksud yang apa yang dimaksudkan sukan selamat dan mekanisme bagaimana melaksanakannya. Dan kita tengok sukan hari ini terdiri daripada pelbagai peringkat, ada atlet kanak-kanak, ada atlet remaja, wanita, atlet para.
Dalam dunia sukan hari ini, dan kita tengok hari ini wujudnya dalam acara sukan ini mestinya wujud hubungan antara atlet dengan jurulatih, atlet dengan pegawai, pengurus dan hubungan, perhubungan dengan persatuan dan sebagainya.
Jadi, saya ingin penjelasan sejauh mana pelaksanaan dari sudut keselamatan. Dan jika seorang atlet menjadi mangsa kepada siapa mereka mengadu? Dan jika pelaku mempunyai kedudukan dalam persatuan siapa yang akan menyiasat? Dan jika mangsa di bawah umur apakah protokol perlindungannya? Dan bagaimana kerahsiaan dijaga dan bagaimana tindakan balas terhadap pengadu dapat dicegah.
Dan begitu juga sekiranya struktur masih sama dan penyiasatan masih ada konflik kepentingan sudah tentulah sistem sukan yang dikatakan sukan selamat ini tidak hanya tinggal jenama sahaja. Jadi saya ingin tahu apakah mekanisme pembaharuan yang dibuat dalam memastikan sukan selamat dalam akta kita, dalam sistem sukan kita.
Ya, apabila sebut tentang sukan selamat Yang di-Pertua, saya ingin menyentuh tentang eSukan yang mana diiktiraf sebagai sukan di bawah KBS. Jadi apakah garis panduan yang dilaksanakan untuk memastikan eSukan tidak memberi kesan buruk kepada kanak-kanak terutama melibatkan hubungan dengan ahli keluarga dan sebagainya? Sebab kita tengok isi kandungan ganas dan setengah permainan video yang menjadi sebahagian daripada ekosistem eSukan ini sangat memberi cabaran. Ada permainan tembak-menembak, pembunuhan, keganasan yang menjadi elemen utama dalam permainan.
Apakah kajian telah dibuat terhadap kesan kepada jiwa remaja dan kanak- kanak yang terlibat dengan sukan ini? Dan saya bimbang perkara ini akan membawa kepada isu yang lebih membimbangkan termasuk meningkatkan ― kita tengok bagaimana laporan media hari ini, hari-hari berlaku kes buli jenayah meningkat di kalangan pelajar dan sudah tentu ini mempunyai kesan yang besar. Jadi, sejauh mana perkara ini diperhatikan dan apakah kerajaan mewujudkan jawatankuasa penyelarasan eSukan peringkat negara yang melibatkan semua kementerian termasuk Kementerian Pendidikan, KKM, KPWKM, SKMM, MCMC dan sebagainya.
Dan sejauh mana dalam pelaksanaan kawalan ini melibatkan perlindungan kanak-kanak supaya eksploitasi terhadap kanak-kanak tidak diambil kesempatan.
Dan sejauh mana atlet sukan ini perlu menjalani saringan kesihatan terutama kesihatan fizikal dan mental. Sebab program latihan ini perlu merangkumi senaman, ergonomik, penjagaan mata, pemakanan, begitu juga sokongan psikologi terutama kepada yang melibatkan atlet sukan ini ― berkaitan dengan eSukan ini.
Jadi, saya ingin tahu sejauh mana usaha yang telah dibuat dan apakah kajian telah dibuat terhadap impak kepada kanak-kanak yang dibuat secara berkala. Dan tidak wajar sebenarnya semua permainan digital diberi pengiktirafan yang sama dan sejauh mana pelesenan dan akreditasi penganjur-penganjur pertandingan eSukan yang melibatkan kanak-kanak ini perlu daftar. Dan saya ingin tahu setakat ini, berapakah yang telah berdaftar secara sah. Dan kita mengharapkan juga supaya ada kawalan masa bermain supaya ada garis panduan latihan supaya pelajar ini tidak mengabaikan pelajaran, mengabaikan waktu tidur yang cukup ataupun solat dan sebagainya.
Jadi, sudah tentu pemantauan ini sangat penting. Kerana masa tidak mencukupi, sekadar itu saya menyokong dan mengharap supaya perkara ini diberi perhatian sepenuhnya oleh pihak kementerian. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Terima kasih Yang Berhormat Rantau Panjang. Saya jemput Yang Berhormat Beruas.
Dato' Ngeh Koo Ham - Beruas
Terima kasih Puan Yang di-Pertua kerana membenarkan saya membahas Rang Undang-undang Pembangunan Sukan
(Pindaan) 2026. Saya menyokong sepenuhnya Rang Undang-undang Pembangunan Sukan (Pindaan) ini selain daripada satu cadangan untuk meminda seksyen 41, subseksyen (1) akta sedia ada.
Saya berpandangan bahawa kita seharusnya memansuhkan seksyen 41, subseksyen (1) dan bukan meminda seksyen ini. Di bawah seksyen 41 yang merupakan kuasa am Menteri, Menteri boleh mengecualikan mana-mana orang daripada semua atau mana-mana peruntukan akta ini apabila berpuas hati bahawa terdapat hal keadaan khas untuk berbuat sedemikian.
Saya ingin menekankan seksyen 41, subseksyen (1) ini memberi kuasa kepada Menteri untuk tidak memakai peruntukan di bawah akta atau keseluruhan akta yang dibuat oleh Parlimen. Ini satu budi bicara yang tidak harus kita berikan kepada Menteri kerana kuasa Parlimen untuk membuat undang-undang ini tidak boleh di― Menteri tidak boleh menidakkan semua undang-undang yang telah diluluskan oleh Parlimen.
Di bawah seksyen 41, subseksyen (2) akta sedia ada memperuntukkan tertakluk kepada peruntukan akta ini dan mana-mana peraturan yang dibuat di bawahnya Menteri adalah pihak berkuasa yang muktamad berhubung dengan sukan dan perkara berhubungan dengan sukan.
Saya ingin membuat dua hujah kenapa seksyen 41, subseksyen (1) patut dimansuhkan. Sebab pertama ialah kerana ia memberikan budi bicara yang terlalu luas kepada Menteri hinggakan Menteri boleh menyatakan keseluruhan akta ini tidak terpakai dalam sesuatu keadaan. Ini bermaksud beliau adalah undang-undang dan kuasa Parlimen membuat undang-undang telah diambil alih oleh beliau.
Sebab kedua, boleh berlakunya diskriminasi oleh Menteri memakai sesuatu syarat atau peruntukan ke atas seseorang dan mengecualikan seseorang yang lain daripada syarat atau peruntukan yang sama. Peruntukan seksyen 41 subseksyen ini pada pandangan saya, kemungkinan besar tidak sah dari segi undang-undang kerana melanggar Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak kesamarataan dan perlindungan yang sama rata di sisi undang-undang bagi semua orang di Malaysia.
Jadi, untuk pindaan yang dicadangkan memberi kuasa kepada Menteri untuk juga mengecualikan mana-mana orang daripada peraturan-peraturan di bawah akta ini juga akan menemui bantahan dua sebab yang telah saya nyatakan di atas. Pada pandangan saya dan saya mengesyorkan kepada kerajaan supaya memadailah kalau kita hanya menggunakan seksyen 41, subseksyen (2) sedia ada.
Kita di bawah seksyen ini kita memberikan kuasa yang besar kepada Menteri dan keputusan Menteri adalah muktamad tetapi keputusannya tertakluk kepada akta dan peraturan-peraturan yang dibuat di bawahnya. Peruntukan seperti seksyen 41, subseksyen (2) memberi kuasa besar tetapi Menteri tidak merampas daripada Parlimen kuasa untuk membuat undang-undang dan semua orang dilayan sama rata mengikut akta dan peraturan-peraturan yang dibuat di bawahnya.
Jika ada terdapat apa-apa pengecualian yang diperlukan, ia dinyatakan dengan jelas dalam peraturan-peraturan yang dinyatakan. Saya mencadangkan seksyen 41, subseksyen (1) Akta Pembangunan Sukan 1997 dimansuhkan dan cadangan pindaan kepada subseksyen ini tidak diperlukan lagi. Terima kasih Puan Timbalan Yang di-Pertua.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Terima kasih Yang Berhormat Beruas. Saya jemput Yang Berhormat Batu Gajah.
Dr. Sivakumar a/l Varatharaju Naidu - Batu Gajah
Tuan Yang di-Pertua, terima kasih kerana memberi ruang kepada saya untuk sama membahaskan Rang Undang-undang Pembangunan Sukan (Pindaan) 2026. Saya menyokong prinsip dan tujuan pindaan ini khususnya usaha untuk memperkukuh tadbir urus badan sukan, meningkatkan akauntabiliti serta memperkemas mekanisme penguatkuasaan di bawah Akta Pembangunan Sukan 1997.
Tuan Yang di-Pertua, pertama soal tadbir urus. Berdasarkan jawapan kerajaan di Dewan ini bagi tempoh 2020 hingga 2025, sebanyak 4,687 persatuan dan kelab sukan direkodkan sebagai tidak aktif atau bermasalah. Yang lebih menarik, daripada jumlah tersebut 3,972 adalah kelab. Ini bermakna, sebahagian besar cabaran tadbir urus kita sebenarnya berlaku di peringkat akar umbi.
Maka, kita perlu bertanya adakah masalah kita semata-mata kekurangan undang-undang atau sebenarnya kelemahan dalam pelaksanaan, pemantauan dan kapasiti? Sebab itu saya berpandangan bahawa kuasa Pesuruhjaya Sukan perlu disertai dengan pendekatan risk-based governance. Badan sukan yang mempunyai rekod pematuhan dan tadbir urus yang baik tidak seharusnya menerima tahap intervensi yang sama dengan badan yang mempunyai masalah berulang. Yang baik kita perkasa, yang lemah kita bimbing, yang melanggar undang-undang kita ambil tindakan.
Tuan Yang di-Pertua, isu tadbir urus ini juga bukan suatu yang abstrak. Pada Jun tahun ini, audit kualiti AFC terhadap FAM mengenal pasti beberapa cabaran berkaitan tadbir urus, akauntabiliti dan pengurusan dengan kebanyakan bidang operasi FAM dinilai pada tahap dua atau pra pertengahan. Audit tersebut meliputi 11 bidang termasuk governance, kewangan, sumber manusia, pentadbiran dan pembangunan prestasi. Saya tidak membawa contoh ini untuk menuding jari kepada mana-mana individu atau badan. Sebaliknya, ia memberikan satu pengajaran yang penting.
Institusi yang kuat tidak boleh bergantung kepada siapa yang memegang jawatan. Institusi yang kuat mesti bergantung kepada sistem. Malah, selepas pemilihan kepimpinan baru FAM pada September lalu , antara keutamaan yang dinyatakan ialah pemulihan, keyakinan pemegang taruh dan memperkukuh tadbir urus berdasarkan perkara yang dibangkitkan dalam audit AFC. Jadi, saya melihat RUU ini sebagai satu peluang untuk kita bergerak kepada personaliti driven governance kepada institutional-driven governance. Tuan Yang di-Pertua, kedua soal autonomi badan sukan. Saya menyokong kuasa Pesuruhjaya Sukan untuk memastikan badan sukan mematuhi undang- undang Malaysia tetapi kita perlu juga jelas tentang garis panduan antara regulatory oversight dengan sporting autonomy. Badan sukan bukan jabatan kerajaan.
Sesetengahnya juga tertakluk kepada peraturan badan sukan antarabangsa. Jadi, saya ingin mendapatkan penjelasan daripada kerajaan bagaimanakan kementerian memastikan kuasa pengawalseliaan tidak berubah menjadi campur tangan terhadap keputusan teknikal atau autonomi badan sukan. Pada saya prinsipnya mudah.
Kerajaan mengawal integriti institusi, bukan menentukan keputusan pertandingan.
Kerajaan memastikan kewangan diurus dengan baik, perlembagaan dipatuhi, oleh atlet dilindungi.
Tuan Yang di-Pertua, ketiga, kuasa penguatkuasaan mesti datang bersama safeguard-nya. Saya faham mengapa pindaan ini memberikan kuasa yang lebih jelas untuk mendapatkan dokumen, rekod kewangan serta bahan elektronik. Dalam dunia hari ini, bukti bukan hanya dalam fail fizikal. Ia boleh berada dalam e-mel, Whatsapp, cloud storage, transaksi digital dan peranti-peranti elektronik. Tetapi kita harus ingat satu prinsip. The stronger the power, the stronger the safeguard must be, dengan izin.
Justeru, saya berharap kementerian memastikan prosedur yang jelas tentang bila pemeriksaan boleh dilakukan, bagaimana data elektronik diperolehi dan disimpan dan siapa yang boleh mengaksesnya serta bagaimana data peribadi dilindungi. Kita mahu penguatkuasaan yang tegas tetapi pada masa yang sama kita mahu due process dan kepastian undang-undang.
Tuan Yang di-Pertua, akhir sekali izinkan saya membawa satu prinsip. A good athlete can win a medal, a good institution can build generation of athletes, dengan izin. Kita tidak boleh membina sukan negara dengan mencari atlet berbakat. Kita juga perlu membina institusi yang mampu menjaga atlet tersebut. Atlet perlu yakin bahawa wang pembangunan diurus dengan baik, proses pemilihan mempunyai integriti, pertikaian boleh diselesaikan dan kebajikan mereka tidak bergantung kepada siapa yang sedang memegang jawatan. Sukan yang hebat memerlukan atlet yang hebat tetapi atlet yang hebat memerlukan institusi yang hebat.
Tuan Yang di-Pertua, saya menyokong RUU ini kerana saya percaya sukan Malaysia memerlukan tadbir urus yang lebih kukuh, penguatkuasaan yang lebih jelas dan akauntabiliti yang lebih moden. Namun, saya berharap tiga perkara diberikan perhatian. Pertama, kuasa Pesuruhjaya Sukan dilaksanakan secara telus dan berperingkat. Kedua, kuas penyiasatan dan penguatkuasaan datang bersama due process serta perlindungan data. Dan yang ketiga, badan sukan akar umbi diberikan bimbingan dan kapasiti, bukan hanya dikenakan tindakan apabila mereka gagal kerana matlamat kita bukan sekadar mempunyai badan sukan yang patuh pada akta.
Matlamat kita adalah mempunyai badan sukan yang dipercayai oleh atlet, dihormati masyarakat dan mampu membawa nama Malaysia ke peringkat dunia.
Dengan ini, saya menyokong Rang Undang-undang Pembangunan Sukan (Pindaan) 2026 untuk dipertimbangkan dan diluluskan oleh Dewan yang mulia. Sekian, terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Terima kasih Yang Berhormat Batu Gajah. Saya jemput Yang Berhormat Arau.
Dato’ Seri Dr. Shahidan bin Kassim - Arau
Terima kasih Puan Speaker.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, rakyat Malaysia orang muda.
Pertama sekali, walaupun apa pandangan Ahli-ahli Parlimen tapi kami semua Ahli Parlimen ingin mengucapkan tahniah kepada atlet, persatuan sukan, jurulatih yang telah berjaya mendapat sembilan pingat emas. Tahniah, tahniah, inilah pandangan-pandangan yang telah diberikan. Itu adalah pandangan biasa untuk kita tegur dan imbang— semak dan imbang, ya. Menteri, tahniah noh. Walaupun kita berbeza, lepas ni kami ambil alih kalau boleh join kamilah lagi mudah untuk membolehkan karier hebat kita itu diteruskan, ya. Terima kasih. Itu memang proses biasa politik, Yang Berhormat, ya. Macam tu lah. Sat naik, sat turun. Okey.
Speaker, di Thailand kementerian yang menguruskan sukan ini ialah Kementerian Pelancongan dan Sukan dan yang menguruskan sukan ialah Lembaga Sukan Thailand. Indonesia, Kementerian Pemuda dan Olahraga. Yang menguruskannya adalah Komite Olahraga Nasional Indonesia. Philippines, Pejabat Presiden terus. Kemudian yang menguruskannya adalah Suruhanjaya Sukan Filipina. Di Malaysia ni kita ada KBS, kemudian kita ada Majlis Olimpik, MSN. Yang penghabis sekali ialah persatuan sukan.
Sebenarnya hari ni saya cuma tak sempat berkomunikasi dengan sahabat saya. Dia ni yang saya sahabat dengan bapa dia. Ini anak bapa dia. Jadi, tak sempat nak berkomunikasi, saya ingat kut hari ni nak dibawa perkara yang telah dibuat dulu iaitu memberi autonomi kepada persatuan sukan seperti yang dibuat di Thailand.
Seperti yang dibuat di Indonesia dan juga di Philippines, di kebanyakan negara dunia. Di mana persatuan itu diberi autonomi dalam bentuk, menguruskan sukan, menguruskan sukan, mengendalikan kewangan dan sebagainya.
Kementerian telah pun membuat percubaan. Dalam pada yang lepas iaitu persatuan-persatuan ni diberi hak pertama untuk menguruskan pembayaran kepada atlet dan juga kepada jurulatih tetapi tak dapat dilaksanakan. Masa tu saya Presiden KOM, saya protes. Sebab apa? Pegawai-pegawai kementerian 41, 44, 52, 54, JUSA C semua dok ada dengan kerajaan. Bagaimana orang di persatuan yang gajinya RM1,500 – RM2,000 nak menguruskan wang dengan begitu banyak. Kena transfer— kerajaan kena pinjamkan pegawai-pegawai kanan ini untuk menguruskan kewangan kerajaan. Itu ialah yang terbaik.
Saya sendiri protes sebab saya tak berani persatuan saya pun ada yang gaji tinggi pun RM2,000. Yang lainnya, RM1,500 dan sebagainya tiga empat orang.
Bagaimana mereka mampu menguruskan kewangan yang begitu besar. Jadi, tak jadi. Cuma saya ingat kut hari ini akan dimasukkan juga tentang autonomi kepada sukan. Tapi itu dah jadi nombor dua.
Nombor satu sekarang ni, tahun depan SEA Games, Yang Berhormat. Kita nak menang. Kita kalau tak menang kira kita malu tu sebab dibuat di Malaysia. Kita nak menang. Dan saya akan menggunakan segala kekuatan yang — bukan yang ada. Segala kekuatan saya, insya-Allah, dengan izin Allah untuk memastikan persatuan yang saya pimpin mendapat sebanyak mungkin pingat emas.
Dato’ Seri Dr. Shahidan bin Kassim - Arau
Malah saya nak jadikan persatuan saya lebih banyak boleh dapat pingat emas dibandingkan dengan persatuan-persatuan yang lain. Contohnya Sea Games di Palembang. Persatuan saya saja dapat 17 emas. Persatuan saya. Tahniah la ya.
Kemudian KOM yang saya juga pimpin masa tu dapat 11 emas. Jadi, kita nak pegang rekod ini balik. Tapi bagaimana kita mampu berbuat demikian Yang Berhormat?
Sekarang ini kita olahraga tidak ada stadium. Di antara kejayaan kita di dalam Sea Game di Thailand adalah acara padang. Sekarang kita bukan semua padang yang boleh digunakan untuk acara padang. Kita tidak ada padang. Kita tidak ada stadium olahraga. Di Thailand ada, di Indonesia ada, di Filipina ada, Singapura ada tapi Malaysia tak ada. Tidak ada stadium olahraga. Yang ada stadium pun Bukit Jalil telah digunakan untuk hiburan.
Sekarang diperbaiki, kemudian satu lagi stadium yang kecil itu sudah setahun lebih diperbaiki. Tidak ada dan atlet kita naik motor pergi berlatih di Serdang, pergi berlatih di Shah Alam, di merata-rata. Bagaimana kita mengharapkan emas? Tak dapat emas mereka hentam persatuan dengan atlet. Tapi kalau dapat emas kerajaan la dapat untung. Tahniahlah Menteri. Tapi begitulah nasib siapa yang nak masuk persatuan kena terima hakikat ini.
Jadi Yang Berhormat, saya nak cadangkan supaya kerajaan serta-merta ambil alih Stadium Panasonic, serta-merta. Perbaiki dan bagi kepada olahraga untuk kita membuat latihan. Serta-merta Yang Berhormat, kalau tidak tinggal setahun lagi.
Bagi kami peluang setahun untuk membuktikan bahawa kita dapat yang terbaik, untuk olahraga. Bukan kami lah, saya bagi pihak mereka ya. Dan kami bagi pihak persatuan renang, no problem kita ada tempat. Tapi untuk olahraga saya rasa ini lah masanya untuk kita sediakan stadium dan stadium yang saya tengok yang boleh diperbaiki adalah Stadium Panasonic, tetapi stadium ini pun tak sesuai lah amat tidak sesuai sebab track-nya rosak dan sebagainya. Tapi masih boleh dipakai untuk tujuan latihan.
Sekarang ini UPM Serdang, semua orang berebut pergi sana Yang Berhormat. Berebut untuk menggunakan UPM Serdang, track pun tak elok.
Bagaimana track yang tak elok kita nak pergi buat latihan dan sebagainya? Tapi yang kesian adalah latihan Yang Berhormat mereka naik motor tahu. Pergi latihan sendiri sana sini. Ini tak bagus. Sekarang ini kita kena dengan izin organize training lah bagi tempat yang khusus untuk olahraga berlatih.
Saya macam sedihlah sebab kawan-kawan daripada olahraga ini telah dihentam dengan teruk. Azim, Syireen dan juga Irfan kena teruk. Tapi jangan bimbang ini adalah teguran-teguran membina yang dibuat oleh pelbagai pihak.
Mereka nak membina, bukan nak menghentam ya. Jadi sudah pasti kami di sini menghargai semua usaha yang dibuat oleh pelbagai pihak. Cuma pihak kerajaan kita minta, inilah masa bagi perhatian kepada Sea Game.
Kita telah tewas sikit, tapi kita nak buktikan bahawa Sea Game, kita nak nombor satu. Sekarang ini kita nombor dua daripada Thailand, tapi tidak ada masalah sebab apa kita perlawanan dengan Thailand cuma antara kita dengan Thailand. Kita boleh mengatasinya dengan baik kalau di buat latihan yang sepenuhnya. Terima kasih Speaker yang telah memberi ruang dua minit tambahan kepada saya. Semoga sentiasa sihat ya. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua
Terima kasih Yang Berhormat Arau. Saya jemput Yang Berhormat Kalabakan.
Datuk Andi Muhammad Suryady bin Bandy - Kalabakan
Terima kasih Puan Yang di-Pertua kerana memberikan ruang kepada saya untuk mengambil bahagian dalam perbahasan Rang Undang-undang Pembangunan Sukan (Pindaan) 2026. Jadi, dalam kita memperkemaskan tadbir urus Badan sukan dan perkukuh kuasa Pesuruhjaya sukan saya mahu membawa perhatian dewan kepada satu perkara yang sangat asas berkaitan isu kebajikan para atlet.
Puan Yang di-Pertua, umum mengetahui bahawa Malaysia mempunyai skim hadiah kemenangan sukan. Skim imbuhan tetap Olimpik, bantuan melalui Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan, perlindungan insurans dan juga bantuan perubatan.
Kita juga telah bergerak ke hadapan melalui caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan Perlindungan Pertubuhan Keselamatan Sosial kepada kumpulan atlet tertentu.
Semua ini disambut baik, namun kita perlu membezakan antara ganjaran kemenangan dengan jaminan kebajikan. Ganjaran diberikan apabila atlet mencapai kejayaan. Kebajikan pula sepatutnya melindungi atlet sepanjang masa walaupun setelah menamatkan karier mereka. Seorang atlet mungkin menghabiskan 10 hingga 15 tahun mewakili negara tanpa pernah memenangi sebarang pingat. Mereka tetap berlatih setiap hari membawa nama Malaysia ke pertandingan antarabangsa dan kadangkala menangguhkan pendidikan serta peluang kerjaya.
Persoalannya, apakah yang berlaku pada hari selepas nama mereka tidak lagi berada dalam program kebangsaan? Elaun mungkin berhenti, akses kepada kemudahan mungkin berubah tetapi peluang kecederaan tetap ada, tanggungan keluarga tidak putus, kehidupan juga tetap berjalan. Tuan Yang di-Pertua, oleh sebab itu, saya mencadangkan kerajaan membangunkan satu kerangka kebajikan dan transisi atlet kebangsaan yang melihat kebajikan berdasarkan keseluruhan kitar hayat seseorang atlet mencakupi aspek berikut:
Yang pertama, perlindungan sosial dan persaraan, caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan pertubuhan, keselamatan sosial yang telah dimulakan, perlu diperluaskan secara lebih sistematik kepada atlet yang memenuhi kriteria termasuk atlet pembangunan dan pelapis.
Kedua, perlindungan kecederaan jangka panjang. Hal ini adalah kerana terdapat kecederaan lutut, bahu, tulang belakang dan kecederaan lain yang kesannya berterusan bertahun-tahun selepas seseorang atlet bersara. Jika kecederaan itu berlaku ketika mereka berlatih ataupun bertanding di luar negara, kita perlu mempunyai mekanisme yang jelas untuk menentukan bentuk perlindungan yang bersesuaian selepas persaraan.
Ketiga, kesihatan melalui mental atlet. Australia melalui Australian Institute, Oxford mempunyai rangkaian rujukan kesihatan mental khusus yang membolehkan atlet mendapatkan bantuan profesional. Mereka juga mempunyai pegawai yang memberi perhatian khusus kepada kesejahteraan dan pembangunan atlet.
Keempat ialah pendidikan dan kerjaya kedua. United Kingdom misalnya mempunyai pendekatan performance lifestyle yang membawa atlet merancang pendidikan, pembangunan diri, kerjaya dan transisi daripada sukan berprestasi tinggi. China pula menyediakan pelbagai laluan latihan dan pekerjaan supaya pengalaman bekas atlet dapat dikembalikan kepada sektor sukan dan pendidikan.
Oleh itu, Malaysia juga boleh memperkenalkan pelan pembangunan individu atlet. Setiap atlet elit bukan sahaja mempunyai sasaran pingat dan prestasi tetapi mempunyai pelan pendidikan kemahiran dan juga kerjaya selepas sukan. Kelima, program kerjaya atlet korporat. Kita yang mempunyai syarikat berkaitan kerajaan dan syarikat swasta yang memberikan insentif apabila atlet menang.
Saya mencadangkan kita pergi lebih jauh melalui program kerjaya atlet korporat. Jangan hanya tawarkan wang apabila mereka membawa pulang pingat, berikan juga latihan industri, pensijilan profesional, biasiswa dan laluan pekerjaan supaya mereka mempunyai masa depan selepas bersara.
Puan Yang di-Pertua, saya juga mahu menyentuh soal hak dan suara atlet.
Kebajikan bukan hanya mengenai wang. Jika atlet menghadapi buli, gangguan, penderaan psikologi atau merasakan mereka dilayan secara tidak adil, adakah mereka mempunyai saluran yang benar-benar selamat untuk bersuara tanpa bimbang kedudukan mereka dalam pasukan terjejas? Maka saya mencadangkan juga diwujudkan mekanisme aduan bebas atlet dengan perlindungan kerahsiaan, prosedur siasatan yang jelas dan mekanisme rayuan yang tidak dikawal oleh pihak yang mempunyai konflik kepentingan.
Puan Yang di-Pertua, kita sudah pasti bahawa Malaysia menjadi negara sukan tetapi negara sukan tidak boleh diukur hanya berdasarkan jumlah pingat. Ia juga perlu diukur berdasarkan bagaimana negara menjaga individu yang menghasilkan pingat tersebut. Kita jangan hanya mengenali atlet ketika mereka berada ataupun berdiri di atas podium dan melupakan mereka apabila mereka turun daripada podium.
Oleh itu, mekanisme peningkatan perlindungan holistik amatlah diperlukan bagi menjamin masa depan mereka yang lebih baik setelah menamatkan karier kelak. Mengakhiri ucapan, Kalabakan mohon menyokong. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua
Terima kasih Yang Berhormat Kalabakan.
Sekarang saya minta Yang Berhormat Menteri untuk menjawab. Masa 30 minit.
Menteri Belia dan Sukan - Dr. Mohammed Taufiq bin Johari
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Saya mempunyai 30 minit untuk menjawab 31 orang pembahas. Saya ucapkan tahniah dan terima kasih kepada semua ahli-ahli Parlimen, ahli-ahli Yang Berhormat kerana begitu cakna berkaitan dengan pembangunan sukan dan bersama-sama untuk kita membangunkan dan memajukan sukan negara kita.
Saya ucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Tebrau, Yang Berhormat Alor Setar, Yang Berhormat Bukit Bendera, Yang Berhormat Kangar, Yang Berhormat Libaran, Yang Berhormat Kulim Bandar Baru, Yang Berhormat Puncak Borneo, Yang Berhormat Kuala Krai, Yang Berhormat Tenom, Yang Berhormat Gerik, Yang Berhormat Jelutong, Yang Berhormat Dungun, Yang Berhormat Putatan, Yang Berhormat Pasir Mas, Yang Berhormat Batu, Yang Berhormat Langkawi, Yang Berhormat Keningau, Yang Berhormat Mersing, Yang Berhormat Betong, Yang Berhormat Maran, Yang Berhormat Bakri, Yang Berhormat Kepala Batas, Yang Berhormat Kinabatangan, Yang Berhormat Rantau Panjang, Yang Berhormat Batu Pahat, Yang Berhormat Sipitang, Yang Berhormat Machang, Yang Berhormat Beruas, Yang Berhormat Batu Gajah, Yang Berhormat Arau dan Yang Berhormat Kalabakan.
Sudah pasti bahawa sukan ini adalah suatu elemen yang sangat penting untuk menyatupadukan kita semua dan kita inginkan satu kejayaan untuk negara kita yang dibawa oleh atlet-atlet secara keseluruhannya.
Menteri Belia dan Sukan - Dr. Mohammed Taufiq bin Johari
Pertama, saya ingin menjawab berkaitan dengan YB Tebrau. Bagi memastikan persiapan ke arah temasya Sukan Olimpik LA28 ataupun Los Angeles 2028 dilaksanakan secara lebih terancang, berfokus dan berasaskan prestasi, KBS melalui Majlis Sukan Negara memberikan tumpuan kepada pembangunan atlet secara berperingkat dan berterusan.
Dan juga, pengukuhan sokongan dan pembiayaan, pemantauan dan penilaian berasaskan prestasi, pengukuhan ekosistem, sokongan prestasi serta penyelarasan bersepadu bersama persatuan sukan kebangsaan dan juga Majlis Olimpik Malaysia yang mana pendekatan ini bertujuan untuk memastikan atlet yang berpotensi mendapat laluan, pembangunan, latihan dan juga pendedahan pertandingan dan sokongan yang bersesuaian bagi atlet ini pergi melangkah lebih jauh dan juga persiapan LA28 itu adalah lebih baik lagi.
[Dato’ Sri Doris Sophia anak Brodi (Sri Aman) **mempengerusikan Mesyuarat****] Sebab itu, bagi memburu pingat emas pertama, kita juga telah pun melaksanakan pelbagai program di bawah Majlis Sukan Negara termasuklah program Road to Gold yang merupakan satu inisiatif strategik negara ke arah temasya Sukan Olimpik LA 2028. Sehingga kini, seramai 15 orang atlet di bawah program ini dari sukan angkat berat, badminton, berbasikal trek dan skuasy.
Dan juga, selain itu, KBS melalui MSN turut mewujudkan inisiatif program Fast Track di bawah program RTG, dan program Fast Track merupakan pembangunan atlet bagi generasi muda yang berumur 25 tahun dan ke bawah dengan kedudukan ranking 20 terbaik dunia yang telah mencapai pelbagai pingat di peringkat Asia.
Tuan Yang di-Pertua, YB. Alor Setar juga mengemukakan cadangan dan juga input yang begitu baik sekali ya, dan saya tertarik berkenaan dengan perhatian Yang Berhormat Alor Setar berkaitan dengan sebelum menjadi atlet, semasa menjadi atlet dan selepas menjadi atlet. Itu juga merupakan salah satu usaha Kementerian Belia dan Sukan untuk memastikan bahawa atlet ini tidak hanya menyumbang kepada negara, tetapi apa yang negara boleh berikan kepada jasa bakti mereka itu adalah yang paling penting sekali.
Yang Berhormat Alor Setar, KBS mengambil berat terhadap kebajikan dan keselamatan atlet. Melalui RUU Pembangunan Sukan (Pindaan) 2026, aspek tadbir urus dan perlindungan dalam ekosistem sukan akan terus diperkukuh supaya hak serta kepentingan atlet diberikan perhatian sewajarnya termasuklah untuk memastikan bahawa atlet ini benar-benar memahami saluran aduan dan juga perlindungan yang tersedia.
Dan dalam aspek kebajikan atlet, KBS sentiasa memastikan bahawa perhatian terhadap kebajikan atlet negara ini bukan sahaja ketika mereka aktif mewakili negara, tetapi yang lebih penting adalah ketika mereka sudah bersara ataupun tidak lagi bersama dalam program di bawah MSN.
Sebab itu, kita telah pun mengadakan Malaysian Athlete Career and Education (MACE) dan dirasmikan pada tahun ini yang kita nak memastikan bahawa atlet ini mereka telah pun bertungkus lumus, telah pun menggadaikan masa dan tenaga dan juga ada atlet-atlet yang masih bersekolah lagi telah pun mencurahkan bakti kepada negara. Sebab itu, kita nak memastikan bahawa atlet ini faham dan tahu bagaimana cara yang terbaik untuk memastikan karier mereka selamat dan juga terjamin.
Di bawah MyAthlete Center, MACE ataupun Malaysian Athlete Career and Education ini, kita ingin memastikan bahawa atlet-atlet ini mendapat laluan kerjaya yang baik. Laluan kerjaya atlet turut diperkukuh melalui kerjasama dengan syarikat berkaitan dengan kerajaan, sektor swasta dan agensi kerajaan. Dan MSN juga, Majlis Sukan Negara, telah pun memeterai MoU bersama dengan rakan strategik kita, rakan korporat untuk menyediakan platform kerjaya yang bersifat inklusif kepada atlet kebangsaan dan juga atlet di peringkat negeri. Jadi, sekarang ini di MSN sendiri, kita ada MACE yang khusus untuk atlet-atlet yang sedang menjadi atlet sekarang dan akan bersara.
Seterusnya, berhubung dengan pembangunan bakat dalam sukan. Hala tuju kementerian dalam memperkukuh pembangunan atlet tempatan berteraskan Pelan Bakat Sukan Kebangsaan atau Malaysia Talent Plan (MyTP) sebagai kerangka rujukan utama bagi melaksanakan proses pengenalpastian dan pembangunan bakat atau talent identification and development (TID) secara lebih berstruktur dan sistematik.
Melalui pelaksanaan MyTP, kementerian memberikan penekanan kepada penyelarasan, kefahaman dan pengukuhan peranan pemegang taruh khususnya kepada persatuan sukan kebangsaan melalui sesi libat urus yang akan dilaksanakan oleh ISN, ataupun Institut Sukan Negara, bagi tempoh 2026 hingga 2030, selaras dengan Pelan Strategik Kementerian Belia dan Sukan 2026-2030.
Tuan Yang di-Pertua, pendekatan ini adalah untuk menyokong persatuan sukan kebangsaan dalam membangunkan pelan bakat sukan masing-masing berpandukan MyTP ini. Dengan penekanan tadbir urus yang lebih baik, pelaporan kemajuan dan sebagainya, TID ini dilaksanakan secara konsisten bagi memastikan pelaksanaan ini berimpak tinggi.
Dan juga, mekanisme pemilihan bakat ini juga dilaksanakan melalui pemantauan prestasi dalam pertandingan, penilaian pencapaian, konsistensi, peningkatan prestasi serta keupayaan ketahanan fizikal atlet di samping penyelarasan juga kita laksanakan bersama pemegang taruh yang bersama seperti Kementerian Pendidikan, Institut Sukan Negara, majlis sukan negeri dan persatuan sukan kebangsaan.
Tuan Yang di-Pertua, seterusnya, saya ingin menjawab pertanyaan berkaitan dengan Kod Sukan Selamat. YB. Bukit Bendera ada juga membangkitkan isu Kod Sukan Selamat, protokol bagi tempoh kecederaan dan tempoh pemulihan dan pelan kesihatan mental. Saya rasa ini adalah perkara yang sangat-sangat baik.
Bagi melindungi keselamatan atlet, kita ataupun KBS, Kementerian Belia dan Sukan― telah pun melancarkan Kod Sukan Selamat pada tahun 2023. Di bawah Kod Sukan Selamat, pengadu boleh terus ataupun pengadu tidak diwajibkan mengemukakan aduan melalui persatuan atau badan sukan terlebih dahulu. Perkara 8.1.1 Kod membenarkan mana-mana orang yang mengalami atau menyedari salah laku atau pelanggaran kod membuat laporan melalui mana-mana saluran yang disenaraikan.
Tuan Yang di-Pertua, aduan berkaitan pelanggaran Kod Sukan Selamat boleh dikemukakan tanpa melalui persatuan sukan. Antaranya, terus kepada Jawatankuasa Salah Laku dan Perlindungan Dalam Sukan, Majlis Sukan Negara atau Jawatankuasa Sukan Selamat, Jabatan Belia dan Sukan Negara mengikut kesesuaian kes masing-masing.
Apa yang paling penting sebenarnya adalah kita ingin memastikan bahawa keterjaminan ataupun keselamatan atlet-atlet ini dapat terjaga dan juga tidak ada sebarang birokrasi sehingga menyekat atlet-atlet ini untuk mengemukakan aduan dan juga atlet-atlet ini tidak menjadi takut ataupun risau jika aduan mereka ini bocor.
Sebab itu, seterusnya, bagi pengurusan kecederaan dan pemulihan atlet, prinsip utama kerajaan adalah untuk memastikan bahawa keselamatan dan kesihatan atlet ini didahulukan berbanding dengan kepentingan pertandingan. Atlet yang mengalami kecederaan ini perlu melalui penilaian perubatan dan tahap kecederaan diikuti pelan rawatan serta rehabilitasi yang bersesuaian. Tempoh pemulihan tidak ditetapkan secara seragam kerana bergantung kepada jenis dan tahap kecederaan serta perkembangan pemulihan atlet tersebut.
Tuan Yang di-Pertua, seterusnya, bagi menjawab Yang Berhormat Kangar.
Bagi suatu badan sukan yang telah dibatalkan pendaftarannya, Yang Berhormat, segala aset dan harta hendaklah dibekukan. Mekanisme sedia ada melalui pelaporan maklumat yang kena beri ataupun MYKB itu, badan sukan perlu melaporkan semua aset alih dan tidak alih dalam pelaporan kewangan. Kaedah ini akan terus dipraktikkan dengan pembangunan sistem baharu, sistem pengurusan badan sukan dan acara sukan yang sedang dalam peringkat pembangunan sistem.
KBS mencadangkan tambahan peruntukan seksyen baharu iaitu 25A untuk mengadakan peruntukan bagi kesan pembatalan pendaftaran badan sukan oleh pesuruhjaya termasuk peletakhakkan harta kepada Ketua Pengarah Insolvensi bagi maksud penggulungan hal ehwal badan sukan. Fasal ini juga memberi pesuruhjaya atau Ketua Pengarah Insolvensi kuasa untuk meminta apa-apa maklumat yang berhubung dengan harta, hal ehwal, urusan akaun atau buku badan sukan itu atau apa-apa perkara lain yang berhubung dengan badan sukan.
Menteri Belia dan Sukan - Dr. Mohammed Taufiq bin Johari
Sebab itu Pesuruhjaya Sukan mengawal selia badan sukan dari aspek pematuhan perlembagaan. Dan badan sukan dibatalkan bukan disebabkan oleh tidak aktif melaksanakan aktiviti sukan. Jadi, badan sukan dibatalkan kerana gagal mematuhi perlembagaannya apabila tidak mengamalkan tadbir urus yang baik, selain daripada tidak melaksanakan mesyuarat agung tahunan atau mesyuarat jawatankuasa dan sebagainya.
Jadi, terdapat beberapa jenis yuran ahli yang dikenakan oleh badan sukan.
Di antaranya, yuran ahli gabungan, yuran ahli individu, yuran ahli kehormat dan yuran ahli bersekutu. Tiada sebarang yuran tahunan atau yuran lain yang dikenakan oleh Pejabat Pesuruhjaya Sukan kepada mana-mana badan sukan sebaik sahaja ia berjaya didaftarkan di bawah Akta 576. Mana-mana jenis yuran tunggakan atau tanggungan kewangan yang wujud adalah berdasarkan perlembagaan serta pengurusan dalaman badan sukan itu sendiri di mana badan sukan tersebut menanggung liabiliti kewangan tersendiri sepenuhnya.
Jadi, jika berlaku sebarang isu ataupun tunggakan atau masalah tadbir urus oleh persatuan sukan ataupun yang melibatkan kewangan yang menjejaskan pematuhan akta, maka Pesuruhjaya Sukan akan mengeluarkan notis bertulis secara rasmi yang mengandungi arahan penyelesaian ataupun tunjuk sebab. Badan sukan akan diberikan tempoh yang munasabah, biasanya tidak lebih atau sekurang- kurangnya 30 hari, bagi membolehkan pihak jawatankuasa mengemukakan maklum balas, penjelasan atau pelan tindakan penyelesaian sebelum sebarang tindakan susulan diambil.
Seterusnya, Yang Berhormat Gerik. Yang Berhormat Gerik ada? Kalau tak ada, saya skip kepada Yang Berhormat yang ada di dalam Dewan. Baik.
Seterusnya, Kulim-Bandar Baharu berkaitan dengan pembatalan pendaftaran suatu badan sukan yang berdaftar di bawah Akta Pembangunan Sukan 1997 [Akta 576] yang akan menyebabkan aset badan sukan dibekukan, hutang dan liabiliti badan sukan tidak dapat diselesaikan mengikut kaedah biasa. Jadi, bagi melindungi kepentingan ahli, pemiutang dan pihak berkepentingan agar tidak terjejas, maka suatu peruntukan yang jelas tentang pengurusan aset, hutang dan liabiliti badan sukan yang dibatalkan itu ataupun yang terbatal pendaftarannya perlulah diwujudkan.
Seterusnya, Puncak Borneo. Saya ingin menjawab YB Puncak Borneo berkaitan dengan sempadan kuasa antara Menteri Belia dan Sukan, Pesuruhjaya Sukan dan Pendaftar Pertubuhan agar tidak bertindih. Jadi, kita telah pun melaksanakan semakan dan juga sesi libat urus secara menyeluruh supaya kita memastikan bahawa pindaan ini bersifat komprehensif, tidak bertindih dan memastikan bahawa ada pemisahan kuasa yang jelas itu dapat dilaksanakan.
Sebab itu kuasa Pesuruhjaya Sukan dan Pendaftar Pertubuhan jelas diperuntukkan di bawah Akta Pembangunan Sukan 1997 [Akta 576] dan Akta Pertubuhan 1966 [Akta 832] yang mana badan sukan seperti mana ditakrifkan di Akta 576 jelas hanya kepada pertubuhan atau badan sukan suatu jenis sukan yang didaftarkan di bawah Akta 576, dan seksyen 16 Akta 576 telah memperuntukkan mana-mana badan sukan yang berdaftar di bawah Akta Pertubuhan perlulah memohon kepada pesuruhjaya untuk tidak didaftarkan di bawah Akta 576.
Oleh itu, bagi Kementerian Belia dan Sukan, ia tidak timbul sebarang isu pertindihan dan sebagainya. Bahkan, sebenarnya pindaan-pindaan di dalam RUU ini sebenarnya adalah lebih untuk kita menyelaraskan supaya tiada pertindihan antara akta-akta yang ada.
Seterusnya, sedikit saya ingin menyentuh berkaitan dengan SUKMA, berkaitan dengan Jawatankuasa SUKMA supaya kelayakan atlet Para SUKMA ditentukan berdasarkan prestasi, tahap kesihatan dan klasifikasi tanpa mengambil kira had umur. Walau bagaimanapun, Yang Berhormat, kita ingin melihat dari skop yang lebih luas bahawa kita juga ingin memastikan bahawa ruang dan peluang itu dapat diberikan kepada atlet-atlet pelapis supaya kita tidak ada satu vacuum period antara atlet yang telah pun mencapai prestasi yang cukup hebat dengan mereka yang sedang membangun bakatnya. Jadi, tidak ada jurang antara bakat lama dan bakat baru. Itu antaranya.
Kita juga telah berbincang perkara tersebut di peringkat Jawatankuasa Tertinggi SUKMA dan juga yang dianggotai oleh wakil daripada Kementerian Belia dan Sukan, Exco belia dan sukan negeri, menteri belia negeri dan juga MSN, ISN dan Majlis Olimpik Malaysia, Majlis Paralimpik dan sebagainya. Jawatankuasa juga telah bersetuju untuk menetapkan had umur penyertaan atlet Para SUKMA adalah antara 12 hingga 40 tahun. Pada masa yang sama, kita juga ingin melihat aspek prestasi, tahap kesihatan dan klasifikasi atlet itu turut kekal sebagai elemen yang penting dalam menentukan kelayakan dan penyertaan atlet dalam temasya tersebut.
Datuk Seri Dr. Zaliha binti Mustafa - Sekijang
YB Menteri, saya minta mencelah. Boleh?
Dr. Mohammed Taufiq bin Johari
Ya.
Datuk Seri Dr. Zaliha binti Mustafa - Sekijang
Ya. YB Menteri, berkenaan dengan atlet ini, ada satu keadaan di mana saya sendiri pernah berhadapan ialah kehilangan beberapa atlet yang orang kata berpotensi, di mana ada masalah dari sudut persempadanan atlet ataupun kepunyaan atlet.
Contohlah. Yang terdekat, contohnya, Wilayah Persekutuan dengan Selangor. Ada anak-anak kita yang kadang-kadang dia dilatih di Putrajaya tapi dia berasal daripada Selangor, contohnya. Jadi, dalam keadaan yang begitu, khususnya dalam Sukan SUKMA, jadi atlet itu disebabkan dia ada masalah persempadanan, maka akhirnya ― contohnya, dia nak mewakili tempat asal dia Selangor, tetapi sebab dia contohnya duduk di asrama di lain negeri, maka dia tidak boleh mewakili Selangor, contohnya. Jadi, itu menyebabkan dia menarik diri dan akhirnya kita kehilangan atlet yang berpotensi.
Jadi, saya nak tanya sama ada KBS ada usaha-usaha untuk melihat tentang perkara yang saya kira sangat penting dalam kita membentuk masa depan sukan negara. Terima kasih.
Dr. Mohammed Taufiq bin Johari
Baik. Terima kasih Yang Berhormat atas soalan tersebut. Perkara itu sebenarnya telah pun berbangkit juga sebelum ini yang diajukan kepada saya berkaitan dengan perkara tersebut. Ini adalah merupakan salah satu aturan di dalam SUKMA berkaitan dengan persempadanan negeri dan sebagainya.
Ini salah satu perkara yang turut kita berbincang untuk kita menyelaraskan segala mekanisme supaya ada satu penyelarasan yang menyeluruh bagaimana atlet tersebut ketika dia lahir ataupun IC-nya itu adalah asalnya daripada negeri tersebut, maka dia mewakili negeri tersebut dan sebagainya. Ini dibawa di dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi SUKMA dan, insya-Allah, kita akan putuskan juga dalam hujung tahun ini usaha untuk memperkemaskan lagi perkara tersebut, Yang Berhormat.
Datuk Willie anak Mongin - Puncak Borneo
YB Menteri, saya minta penjelasan sikit.
Dr. Mohammed Taufiq bin Johari
Ya.
Datuk Willie anak Mongin - Puncak Borneo
Terima kasih, YB Menteri.
Daripada pandangan saya, saya melihat kalau boleh dipertimbangkan atlet Para SUKMA ini jangan kita sekat pada umur 45 tahun. Sebab, daripada segi persada sukan Para SUKMA ini, mereka dihadkan umur. Tetapi, apabila di peringkat Paralimpik, tidak dihadkan umur. Jadi, tidak ada kesinambungan. Apabila mereka dihentikan di peringkat Para SUKMA, latihan mereka harus diteruskan kalau mereka mempunyai potensi yang baik dan mereka boleh bertarung di peringkat Paralimpik.
Jadi, bagaimana kita sekat di peringkat negara kita tetapi mereka boleh bertanding di peringkat internasional?
Bayangkan, kalau kita ada satu― saya bagi contoh yang ringkas. Kita ada satu atlet ‘A’ dia seorang yang muda, 20 tahun, tetapi dia berlari dengan 10 saat.
Tetapi, kita ada atlet ‘B’ yang berumur 50 tahun tapi dia boleh berlari dalam masa 9.30 saat. Jadi, siapa yang kita nak hantar sebagai wakil kita? Sudah tentu orang yang mencapai prestasi yang baik dan yang terlaju. Walaupun dia telah berusia tapi dia punya pencapaian dia baik.
Datuk Willie anak Mongin - Puncak Borneo
Jadi, itu adalah semangat kesukanan, di mana kita mencari yang terbaik.
Jadi, saya merasakan pengehadan umur ini bukan sesuatu yang terlalu baik. Sebab saya ada satu atlet paralimpik datang berjumpa dengan saya. Dia menyatakan, “*YB, saya dulu pemenang. Saya gold medalist. Saya ada elaun, setiap bulan saya dapat RM1,000 dan itulah mata pencarian saya dan saya masih berlatih tetapi sekarang saya masih boleh menyumbang pingat tetapi umur saya telah melebihi 45 tahun.
Sekarang ini saya kehilangan elaun dan itu merupakan salah satu daripada punca pencarian saya sebagai seorang yang kurang upaya dan menyertai arena sukan Para SUKMA*”.
Kalau kita ada dua, tiga atlet sedemikian, mereka akan mempunyai bukan sahaja kehilangan peluang untuk bertanding tetapi mereka juga akan kehilangan pendapatan. Jadi, kalau boleh kita memperhalusi, semoga dipertimbangkan, Yang Berhormat Menteri.
Dr. Mohammed Taufiq bin Johari
Baik, baik. Terima kasih Yang Berhormat Puncak Borneo. Saya ada masa lebih kurang tujuh minit lebih. Saya cuba sebaik mungkin. Berkaitan dengan perkara tersebut, saya mengambil maklum dan juga sebenarnya perkara ini telah pun dibincangkan di peringkat Jawatankuasa Tertinggi SUKMA sebelum ini yang melibatkan semua stakeholders dan juga telah pun dipersetujui sebelum ini.
Dan hala tuju kita adalah untuk memastikan bahawa kita mendapat pelapis- pelapis yang lebih ramai dan juga pendedahan kepada atlet-atlet ini supaya mereka mendapat pendedahan awal terhadap temasya-temasya yang besar dan akhirnya, dapat mewakili negara kita.
Namun begitu Yang Berhormat, keputusan ini bukanlah tidak tertakluk dalam mana-mana RUU dan masih boleh dibincangkan. Dan pada bulan Disember yang akan datang ini akan ada satu Bengkel Jawatankuasa Tertinggi SUKMA untuk membincangkan hala tuju SUKMA dan juga Para SUKMA. Dan kita akan bawa isu ini di dalam bengkel tersebut dan akan melibatkan juga negeri dan semua stakeholders yang lain. Terima kasih Yang Berhormat.
Baik, seterusnya Yang Berhormat Kuala Krai. Buat masa ini, Kementerian Belia dan Sukan, kita menyediakan sokongan pembiayaan melalui dana sukan komuniti...
Dato’ Sri Doris Sophia anak Brodi - Sri Aman
Saya rasa Yang Berhormat, kalau Yang Berhormat yang...
Dr. Mohammed Taufiq bin Johari
Tak ada.
Dato’ Sri Doris Sophia anak Brodi - Sri Aman
Tak ada dalam Dewan, tak payah jawab.
Dr. Mohammed Taufiq bin Johari
Saya tanya terus ya.
Dato’ Sri Doris Sophia anak Brodi - Sri Aman
Buat secara bertulis.
Dr. Mohammed Taufiq bin Johari
Okey, Kuala Krai tidak ada. Baik, seterusnya YB. Tenom, ada? Baik, YB. Tenom. Kementerian melalui ISN ataupun Institut Sukan Negara telah pun melaksanakan Program Pengenalpastian dan Pembangunan Bakat ataupun Malaysia Talent Identification and Development
(KPM–KBS) bagi mencungkil bakat sukan dalam kalangan murid sekolah rendah, termasuk juga di kawasan pedalaman Sarawak dan Sabah.
Dan juga program ini merupakan satu kerjasama yang strategik antara Kementerian Pendidikan Malaysia dan juga Kementerian Belia dan Sukan yang telah pun dilaksanakan secara menyeluruh yang melibatkan murid berumur tujuh hingga 12 tahun dan kita mengenal pasti bakat-bakat ini melalui pelbagai program yang kita laksanakan di peringkat sekolah.
Dan juga untuk makluman Ahli Yang Berhormat, kementerian menyediakan program pensijilan kejurulatihan serta inisiatif pembangunan profesional bagi memperkukuh kompetensi jurulatih dan pegawai dalam bidang sains serta perubatan sukan. Dan berkaitan dengan permohonan penyediaan fasiliti sukan berskala kecil seperti kemudahan riadah hendaklah dikemukakan secara rasmi kepada Kementerian Belia dan Sukan melalui wishlist yang diangkat oleh Exco ataupun kerajaan negeri, kemudian kita akan pertimbangkan.
Cuma saya akan lebih fokus kepada RUU ini tetapi apa pun itu, sebarang permohonan rasmi itu boleh diangkat kepada Kementerian Belia dan Sukan melalui saluran yang telah pun ditetapkan. Seterusnya, Yang Berhormat Gerik.
Dato’ Sri Doris Sophia anak Brodi - Sri Aman
Gerik tak ada dalam Dewan.
Dr. Mohammed Taufiq bin Johari
Okey, tiada. Yang Berhormat Dungun?
Dungun tidak ada.
Dato’ Sri Doris Sophia anak Brodi - Sri Aman
Dungun tak ada.
Dr. Mohammed Taufiq bin Johari
Putatan? YB Putatan? Tak ada ya. YB Pasir Mas? Juga tidak ada.
Dato’ Sri Doris Sophia anak Brodi - Sri Aman
Pasir Mas tidak ada.
Dr. Mohammed Taufiq bin Johari
YB Batu?
Dato’ Sri Doris Sophia anak Brodi - Sri Aman
Batu tak ada.
Dr. Mohammed Taufiq bin Johari
Tidak ada. YB Jelutong? Jelutong ada.
Dato’ Sri Doris Sophia anak Brodi - Sri Aman
Jelutong ada.
Dr. Mohammed Taufiq bin Johari
Okey. Terima kasih Jelutong kerana kekal sehingga petang. Yang Berhormat Jelutong, kita bersetuju bahawa pembangunan sukan, pembangunan atlet, kita ingin melihat bahawa kegemilangan itu dikembalikan ya. Dan baru-baru ini Jawatankuasa FAM yang baharu telah pun dipilih dan telah pun diadakan AGM dan juga pemilihan dan sebagainya. Dan sudah pasti Kementerian Belia dan Sukan tidak ada hak untuk mencampuri sebarang urusan persatuan sukan.
Namun begitu, kita— apa-apa yang dalam batasan dan juga tanggungjawab kita, kita akan memastikan ketelusan dan menggunakan rang undang-undang yang akan kita pinda ini, kita akan terus memperkasakan persatuan-persatuan sukan.
Tidak hanya FAM tetapi semua persatuan-persatuan sukan dalam negara.
Sebab dan antara program yang sedang kita perkasakan di peringkat bola sepak sebagai contoh. Kita ada Program NFDP yang kita perkasakan National Football Development Program, Akademi Mokhtar Dahari dan sebagainya. Dan kita harapkan supaya atlet-atlet muda ini, berumur di bawah 12 tahun, 13 tahun, di bawah 16 tahun dan sebagainya, satu hari nanti mereka juga akan menjadi benteng utama yang mewakili atau menggunakan jersey Malaysia untuk ke persada dunia.
Dan kita nak pastikan bahawa dengan adanya RUU ini, maka pemerkasaan persatuan-persatuan sukan ini dapat diperhebatkan lagi di masa-masa yang akan datang. Tidak hanya bola sepak tetapi juga badminton. Dan sekarang ini kita lihat banyak persatuan-persatuan sukan seperti sepak takraw, karate dan sebagainya telah pun menunjukkan mereka punya kebolehan untuk mencapai pingat emas.
Sebab itu untuk Olimpik 2028, kita telah berbincang bersama dengan Majlis Sukan Negara supaya kita ingin memastikan kita tidak hanya fokus kepada satu, dua sukan sahaja. Kita perlu explore lebih banyak lagi sukan-sukan yang boleh untuk memberikan ataupun memberikan sumbangan pingat emas untuk negara, khususnya untuk pingat emas yang pertama untuk Olimpik 2028.
Seterusnya Tuan Yang di-Pertua, Yang Berhormat Langkawi yang saya hormati dan saya kasihi. Pertama, berkaitan dengan Le Tour de Langkawi. Saya mengambil maklum berkaitan dengan cadangan untuk Le Tour de Langkawi itu masuk semula ke Langkawi pada tahun hadapan, insya-Allah Yang Berhormat.
Sedikit penjelasan.
Sebenarnya saya pun telah memberikan pemakluman kepada kerajaan negeri berkaitan dengan pada tahun ini kita tidak dapat masuk ke Langkawi disebabkan oleh kekangan bajet dan juga sewaktu kelulusan bajet tersebut, berlakunya Perang Selat Hormuz dan sebagainya. Kita perlu mengadakan langkah- langkah penjimatan dan kita perlu scale down sedikit. Dan kelulusan untuk Le Tour de Langkawi juga agak sedikit terlambat atas beberapa faktor teknikal ya. Kelulusan di peringkat Jemaah Menteri dan sebagainya.
Jadi, kita mengambil keputusan supaya bahawa kita tidak masuk ke Langkawi kerana kos transport dan sebagainya itu memang memakan kos yang agak besar. Tetapi insya-Allah Yang Berhormat, untuk tahun depan kita cuba sedaya mungkin untuk masuk ke Langkawi dan kita nak memastikan bahawa Ahli Parlimen Langkawi untuk bersama-sama dalam LTDL. Kalau perlukan gerek ataupun basikal, kita akan sediakan untuk Ahli Parlimen Langkawi.
Okey. Dan sudah pasti Langkawi mempunyai pelbagai tempat. Dan untuk SEA Games 2027 juga, pelayaran— kita buat di Langkawi dan menjadi salah satu sports tourism untuk memastikan bahawa Langkawi terus diperhebat dan juga diperkukuhkan di kawasan tersebut. Seterusnya, Yang Berhormat Keningau? Ada?
Tidak ada?
Dato’ Sri Doris Sophia anak Brodi - Sri Aman
Tidak ada dalam Dewan.
Dr. Mohammed Taufiq bin Johari
Tiada dalam Dewan. Yang Berhormat Mersing? Ada. Yang Berhormat Mersing, berhubung mekanisme untuk menentukan sesuatu garis panduan antarabangsa yang terpakai kepada Malaysia. Perkara ini perlu dilihat bersama seksyen 3, Akta 576 yang memberikan kuasa kepada Menteri untuk mengadakan atau mengeluarkan garis panduan bagi pembangunan sukan.
Dan kalau kita lihat melalui fasal 3, RUU ini, garis panduan tersebut hendaklah selaras dengan garis panduan atau kaedah antarabangsa yang terpakai.
Dan pada masa yang sama, seksyen 38, Akta 576 ini juga turut memberikan kuasa kepada Menteri untuk membuat peraturan. Dan melalui pindaan ini, diperluas kepada perkara berkaitan pematuhan, kewajipan antarabangsa, mengenai anti-doping serta sukan selamat. Dan seperti yang saya sebutkan dalam perbahasan saya tadi, bahawa pembentangan saya tadi bahawa SEA Games 2027 adalah amat-amat penting untuk kita.
Tak guna kalau kita ada atlet yang hebat, persatuan yang teratur tetapi pada garis penamatnya, ada atlet kita yang terkena anti-doping dan sebagainya. Sebab itu kita perlukan keputusan yang segera dan kita nak pastikan bahawa semuanya berada dalam keadaan yang baik. Dan seperti yang YB. Arau sebutkan tadi, kita nak juara secara keseluruhan untuk SEA Games 2027. Dan dengan pindaan ini, diharapkan agar ia lebih diperkemaskan dan kita mampu untuk mencapai ke arah perkara tersebut.
Dr. Mohammed Taufiq bin Johari
Yang Berhormat, saya ada beberapa minit lagi?
Dato’ Sri Doris Sophia anak Brodi - Sri Aman
Masih banyak lagikah?
Dr. Mohammed Taufiq bin Johari
Banyak lagi. Atau mungkin saya sedikit, saya rangkumkan berkaitan...
Dato’ Sri Doris Sophia anak Brodi - Sri Aman
Saya bagi Yang Berhormat 10 minit lagi.
Dr. Mohammed Taufiq bin Johari
Okey, okey. Baik. Seterusnya, Yang Berhormat Betong. Betong ada? Berkaitan dengan seksyen 41A, kuasa penyerah harta, sukan selamat, tadbir urus dan sebagainya.
Yang Berhormat, secara prinsipnya pindaan kepada subseksyen 41(1), ini akan memperluaskan kuasa pengecualian Menteri kepada mana-mana peraturan yang dibuat di bawah Akta 576 termasuk peraturan yang boleh dibuat berkaitan anti- doping dan juga sukan selamat. Bagi perkara berkaitan anti-doping, pematuhan Malaysia adalah tertakluk kepada obligasi dan standard antarabangsa yang ditetapkan oleh World Anti-Doping Agency (WADA), termasuk juga kerangka anti- doping kebangsaan yang terpakai.
Ahli Yang Berhormat, maka kuasa pengecualian Menteri di bawah subseksyen 41(1), itu tidak harus dilihat sebagai mekanisme untuk mengecualikan pematuhan terhadap kewajipan anti-doping yang tertakluk kepada WADA. Malah, kalau kita lihat, pindaan kepada seksyen 38 ini sebenarnya secara khusus memberi kuasa untuk membuat peraturan berkaitan dengan pematuhan kepada kewajipan antarabangsa berhubung anti-doping dan ini amat penting bagi memastikan sistem anti-doping negara terus konsisten dengan standard antarabangsa.
Bagi sukan selamat, kuasa pengecualian juga akan dilaksanakan secara berhati-hati supaya tidak menjejaskan prinsip asas keselamatan, kebajikan dan perlindungan atlet serta komuniti sukan. Walau apa pun, Tuan Speaker, kuasa pengecualian ini bertujuan untuk menjejaskan integriti sistem anti-doping atau mengurangkan tahap perlindungan di bawah sukan selamat.
Seterusnya, Yang Berhormat Maran tidak ada. Yang Berhormat Bakri, ada.
Okey. Kepala Batas, sekejap. Yang Berhormat Bakri. Okey, Kepala Batas dahulu.
Berhubungan dengan kenyataan tentang kebimbangan penyalahgunaan esports, KBS berpandangan bahawa risiko ini perlu diberi perhatian memandangkan ekosistem permainan dan esports hari ini tidak lagi terhad kepada pertandingan, tetapi merangkumi komuniti dalam talian, platform komunikasi serta interaksi rentas sempadan.
Sebab itu, Yang Berhormat, berkaitan dengan esports, kita telah pun memasukkan dalam satu memo Jemaah Menteri bahawa kita membangunkan satu guideline bersama antara Kementerian Belia dan Sukan dan juga Kementerian Luar Negeri bahawa penting sebenarnya satu guideline yang jelas berkenaan dengan esports ini.
Kita lihat juga banyak game ataupun online gaming yang menggunakan chatbot sebagai contoh, untuk memupuk semangat ekstremisme yang berlaku dan itu memang pun telah pun terbukti dan kita di bawah Jawatankuasa Pembangunan ataupun Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Sukan dan juga Pembangunan Belia, kita telah pun mengadakan satu guideline yang jelas dan sekarang ini di bawah Kementerian Belia dan Sukan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia juga kita membangunkan satu guideline supaya adanya esports yang selamat.
Sebab kalau kita tidak menyantuni golongan esports di peringkat sekolah, mereka tetap akan bermain game. Jadi, sekarang ini bagaimana cara untuk kita memastikan bahawa jawatankuasa yang wujud ini memastikan bahawa esports ini adalah esports yang selamat. Kita ada juga team doktor, psikiatri dan sebagainya di dalam jawatankuasa tersebut untuk membangunkan guideline dan memberikan penjelasan dan penerangan kepada semua pemain-pemain esports ini bagaimanakah esports yang selamat.
Baru-baru ini, kita juga telah mengadakan Program Podium di bawah Majlis Sukan Negara dan alhamdulillah, kita telah pun meraih pingat emas di Sukan Asia.
Ini yang pertama yang disumbangkan oleh esports dan saya yakin dengan satu guideline yang jelas, maka kita boleh bawa esports ini ke arah yang lebih tinggi lagi.
Seterusnya, Yang Berhormat mana lagi yang saya tak sebut? Okey, Bakri.
Baik, Bakri bertanya berkaitan dengan pengurusan persatuan yang lemah, perlu menambah kuasa mutlak kepada satu pihak tanpa disertai mekanisme yang jelas dan kalau kita lihat seksyen 19B, diminta agar kementerian mewujudkan penilaian tadbir urus yang berskala khususnya bagi persatuan yang menerima dana awam yang mana penilaiannya merangkumi kelulusan belanjawan, kawalan perolehan, konflik kepentingan, audit dalaman dan pelaksanaan rancangan pembangunan dan dengan adanya RUU atau pemerkasaan RUU ini, maka kita boleh, mampu untuk mengimplementasikan segala perkara tersebut. Berkaitan dengan soalan Bakri berkaitan kolam renang.
Tuan Tan Hong Pin - Bakri
[Berucap tanpa menggunakan pembesar suara] Kolam renang.
Dr. Mohammed Taufiq bin Johari
Berkaitan kolam renang. Seperti yang saya sebutkan, bahawa kita perlu mengangkat perkara tersebut walaupun Bakri sering menyebut dalam Parlimen berkaitan dengan infrastruktur tersebut, tetapi permohonan tersebut perlulah melalui kerajaan negeri di bawah Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri kemudian diangkat ke wishlist Kementerian Belia dan Sukan dan kemudian diluluskan dalam RMK dan juga dimasukkan dalam belanjawan.
Walaupun sering Bakri menyebut di dalam Dewan tetapi ia perlu melalui proses rasmi seperti berikut supaya kita boleh angkat permohonan tersebut sebab pembinaan-pembinaan yang berskala besar di atas RM1 juta itu perlu melalui proses yang telah pun disediakan guideline tersebut. Terima kasih Yang Berhormat Bakri.
Seterusnya...
Tuan Tan Hong Pin - Bakri
Yang Berhormat Menteri. Saya, Bakri.
Dr. Mohammed Taufiq bin Johari
Ya, Bakri.
Tuan Tan Hong Pin - Bakri
Saya faham mungkin untuk pembinaan baru facility ini, dia mengambil masa untuk merancang dan sebagainya. Adakah kementerian boleh mempertimbangkan supaya ada kolaborasi dengan kolam renang swasta di mana kerajaan memberikan subsidi ataupun geran kepada facility, facility swasta ini supaya facility mereka dibuka untuk orang awam pada satu harga yang kita kata harga yang boleh ditampung?
Saya rasa dengan ini, pada satu masa, kita kurangkan beban ataupun kurangkan peruntukan untuk membina baharu dan pada masa yang sama, kita boleh manfaatkan facility atau kemudahan pihak swasta dengan memberikan suntikan dana daripada kerajaan dan pada masa yang sama memberi manfaat kepada komuniti di sekitar.
Dr. Mohammed Taufiq bin Johari
Baik. Terima kasih Yang Berhormat Bakri atas cadangan tersebut dan ada juga di beberapa tempat yang telah pun kita ada kerjasama seperti apa yang dicadangkan oleh Yang Berhormat. Jadi, mungkin untuk kawasan Yang Berhormat, kita boleh menilai dan meneliti kesesuaian tersebut.
Tuan Yang di-Pertua, masih banyak lagi, tetapi sedikit ingin saya rangkumkan berkaitan dengan seksyen 41A yang mungkin dibangkitkan oleh banyak pihak pada kali ini. Apa yang paling penting sebenarnya, RUU ini kita ingin selaraskan dengan Akta RoS, akta-akta yang lain supaya ia tidak bertindih dan juga ia bersamaan dengan akta-akta tersebut.
Seperti yang kita lihat bahawa kuasa 41A ini bukan kuasa mutlak kepada Menteri semata-mata, ia perlu melalui satu proses yang panjang, proses pandangan dan juga nasihat daripada Pesuruhjaya Sukan, kemudian tidak boleh sewenang- wenangnya Menteri mengeluarkan arahan untuk membatalkan persatuan tersebut hanya kerana Menteri tersebut tidak bersetuju atau tidak bersependapat dengan persatuan tersebut.
Jika persatuan tersebut sedang digunakan ataupun digunakan untuk beberapa elemen yang saya sebutkan sebelum ini iaitu tiga elemen penting, jika dilanggar perkara ini, maka barulah Menteri boleh untuk melaksanakan pembatalan tersebut melalui proses yang panjang. Itu yang melibatkan kepentingan keselamatan Malaysia.
Yang kedua, melibatkan ketenteraman awam dan yang ketiga adalah melibatkan kemoralan. Sudah pasti untuk menentukan ketiga ini bukanlah hak Menteri tetapi ia mesti berdasarkan undang-undang dan juga telah pun termaktub kepada kesalahan perundangan yang telah pun sedia ada di negara Malaysia itu sendiri.
Kalau kita lihat, saya berikan contoh kes. Sebenarnya keputusan tersebut masih lagi boleh dicabar di mahkamah dan keputusan tersebut walaupun mutlak untuk membatalkan, ia dicabar di mahkamah dan jika mahkamah membuat keputusan sebaliknya, maka kita perlu akur dengan perkara tersebut. Prinsip ini telah pun lama ditegaskan. Contoh oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan.
Dr. Mohammed Taufiq bin Johari
Dalam kes tersebut, pemangku Ketua Hakim Negara menolak hujah bahawa pihak berkuasa mempunyai budi bicara yang tidak terbatas dan menegaskan bahawa “unfitted description is a contradiction in terms” serta bahawa “every legal power must have legal limits.” Mahkamah seterusnya menegaskan bahawa “Sesuatu budi bicara hendaklah digunakan bagi tujuan yang betul dan tidak boleh dilaksanakan secara tidak munasabah. Sekiranya kuasa tersebut dilaksanakan secara salah, mahkamah mempunyai kewajiban untuk campur tangan.” Dan ada lagi beberapa garis panduan yang jelas untuk memastikan bahawa Menteri tidak sewenang-wenangnya menggunakan kuasa yang diperuntukkan dan untuk tujuan tertentu, baik tujuan politik, tujuan peribadi ataupun tujuan ketidaksefahaman bersama dengan persatuan sukan.
Jadi Tuan Yang di-Pertua, pada akhirnya saya sekali lagi saya nak ucapkan terima kasih banyak kepada semua Ahli-ahli Yang Berhormat. Terima kasih atas segala input, cadangan, pendapat dan sokongan yang ditunjukkan oleh Ahli-ahli Yang Berhormat sehingga ke petang hari ini. Dan juga saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pegawai-pegawai, penjawat-penjawat awam Kementerian Belia dan Sukan yang telah bertahun lamanya mengadakan sesi libat urus bersama dengan semua stake holders...
[Tepuk] bersama semua negeri untuk memastikan matlamat dan hala tuju kita adalah satu untuk memastikan sukan terus diperkasakan, sukan sebagai platform untuk perpaduan, menyatupadukan semua rakyat Malaysia tak kira kaum, bangsa dan agama dan itu menjadi kebanggaan kita sebagai rakyat Malaysia. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, terima kasih semua Ahli-ahli Yang Berhormat.
Dato’ Sri Doris Sophia anak Brodi - Sri Aman
Baiklah, terima kasih Yang Berhormat Menteri. Bagi mana-mana hujah ataupun soalan yang tidak sempat dijawab saya rasa boleh jawab secara bertulislah. Okey.
Baiklah. Ahli-ahli Yang Berhormat, sekarang saya kemukakan masalah kepada Majlis bagi diputuskan. Masalahnya ialah bahawa rang undang-undang ini dibacakan kali yang kedua sekarang.
[Masalah dikemukakan bagi diputuskan, dan disetujukan] [Rang undang-undang dibacakan kali yang kedua dan diserahkan kepada Dewan sebagai Jawatankuasa ] [Majlis bersidang dalam Jawatankuasa] [Dato’ Sri Doris Sophia anak Brodi (Sri Aman) mempengerusikan Jawatankuasa****] [Fasal-fasal dikemukakan kepada Jawatankuasa] [****Fasal-fasal 1 hingga 13 jadi sebahagian daripada rang undang-undang] [Rang undang-undang dimaklumkan kepada Majlis sekarang] [Majlis Mesyuarat bersidang semula] [Rang undang-undang dilaporkan dengan tidak ada pindaan; dibacakan kali yang ketiga, disokong oleh Timbalan Menteri Pengangkutan (Datuk Haji Hasbi bin Haji Habibollah) dan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi (Tuan Adam Adli Abd Halim) dan diluluskan]
Dato’ Sri Doris Sophia anak Brodi - Sri Aman
Ahli-ahli Yang Berhormat, Mesyuarat Dewan hari ini ditangguhkan sehingga jam 10 pagi hari Rabu, 7 Oktober 2026. Sekian, terima kasih.
[Dewan ditangguhkan pada pukul 6.14 petang]