Jul162026

Katalog Hansard

Dewan Rakyat
  Draf

[Timbalan Yang di-Pertua (Puan Alice Lau Kiong Yieng) **mempengerusikan Mesyuarat****]

draft • 10:00 AM
WAKTU PERTANYAAN-PERTANYAAN MENTERI

Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng

Saya jemput Tuan Tan Kok Wai, Cheras.

draft • 10:00 AM

1. Tuan Tan Kok Wai [Cheras]: Terima kasih, Puan Yang di-Pertua. Soalan yang Cheras kemukakan ialah minta Perdana Menteri menyatakan senarai reformasi tatakelola dan tadbir urus DBKL yang akan dilaksanakan hasil daripada Kajian Kebolehlaksanaan Akta Ibu Kota Persekutuan 1960 [Akta 190] termasuk reformasi yang melibatkan aspek pentadbiran, tadbir urus, integriti dan sistem penyampaian perkhidmatan DBKL. Terima kasih.

draft • 10:00 AM

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) - Puan Hannah Yeoh Tseow Suan

Tuan Yang di-Pertua, untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia telah melaksanakan sesi libat urus bersama Ahli Parlimen Kuala Lumpur pada 2 Mac tahun ini dan pihak pengurusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur pada 9 Mac bagi mendapatkan pandangan pihak berkepentingan utama berhubung aspek tadbir urus, struktur pentadbiran, proses membuat keputusan, penyampaian perkhidmatan, penguatkuasaan, mekanisme akauntabiliti serta keperluan reformasi institusi yang berkait rapat dengan kerangka Akta 190.

Berdasarkan dapatan kajian UIA, ada empat syor utama telah dikenal pasti sebagai langkah reformasi untuk memperkukuhkan aspek pentadbiran, tatakelola, integriti dan sistem penyampaian perkhidmatan DBKL. Syor tersebut merangkumi reformasi tatacara dalaman, pemerkasaan peranan jawatankuasa, pengukuhan peranan dan tatacara lembaga penasihat serta pemerkasaan struktur dan pengoperasian Majlis Menteri Wilayah.

Berdasarkan skor Public Service Corruption Ranking di bawah Sistem Penarafan Bintang Pihak Berkuasa Tempatan 2025, DBKL memperoleh 0.08 peratus daripada lima peratus markah yang ditetapkan. Sehubungan itu, DBKL telah mengambil langkah drastik dalam merancang dan melakukan perubahan berdasarkan syor yang diperolehi melalui kajian UIA.

Sejajar dengan syor dalam kajian UIA dan menyedari realiti skor yang diperolehi tersebut, DBKL telah melaksanakan 16 inisiatif reformasi tatakelola dan tadbir urus dalam masa enam bulan ini. Cuma, kita— saya tak ada masa untuk senaraikan semua.

Yang pertamanya, pelaksanaan lima nasihat SPRM. Hasil daripada penemuan mereka mendapati lima aspek utama yang terdapat kelonggaran dari segi prosedur dan tatacara yang memberi ruang kepada salah laku. Dan lima aspek tersebut:

(i) pengurusan pelaksanaan projek penerbitan kandungan siaran studio radio;

(ii) pengurusan dan pengagihan tapak Bazar Ramadan Aidilfitri oleh DBKL;

(iii) pengurusan dan pemantauan kontrak pelaksanaan perkhidmatan;

(iv) pengurusan pelbagai lesen perniagaan, tadbir urus kejohanan sukan persatuan badan berkanun Malaysia; dan

(v) pengurusan kutipan sewa projek perumahan rakyat dan perumahan awam oleh DBKL.

Keduanya, kita juga telah memansuhkan OSC Khas. Jawatankuasa Pusat OSC Khas telah dimansuhkan bagi memastikan pengasingan kuasa serta mengelakkan campur tangan politik dalam proses dan keputusan pembangunan.

Portal OSC 3.0 Plus. Sebelum ini, DBKL menerima banyak aduan daripada semua Ahli Parlimen yang tidak mendapat maklumat lengkap mengenai pembangunan yang diluluskan di kawasan mereka kerana tidak mempunyai akses kepada portal OSC. Akibatnya, mereka sukar menjawab aduan penduduk dan kini, kita telah buka portal ini dan semua Ahli Parlimen mempunyai saluran untuk memberikan pandangan kepada Datuk Bandar sebelum kelulusan diberikan di peringkat OSC.

Kita juga telah menetapkan had kuasa sumbangan. Sebelum ini, tiada had ditetapkan untuk kelulusan sumbangan oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur. Kini, kelulusan sumbangan oleh Datuk Bandar telah dihadkan kepada maksimum RM3,000 sahaja. Tuan Yang di-Pertua, saya minta bagi sedikit lagi masa.

Permohonan sumbangan melebihi RM3,000 akan dibawa ke Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Tertinggi untuk dibincangkan. Kita juga telah mewujudkan Jawatankuasa Pemantauan Belanjawan oleh Ahli-ahli Parlimen, Mesyuarat Konsultasi bersama Ahli Parlimen yang dipengerusikan bersama ya, oleh Pengarah Eksekutif DBKL dan juga Ahli Parlimen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Pemerkasaan peranan dan tatacara lembaga penasihat juga sedang diusahakan dan pelbagai jawatankuasa untuk mengelakkan konflik kepentingan seperti Jawatankuasa Sumbangan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Jawatankuasa Audit Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Jawatankuasa Tatakelola dan Integriti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur juga telah ditubuhkan untuk berkongsi kuasa Datuk Bandar.

Dan akhirnya, penetapan agenda strategik lembaga penasihat serta pemerkasaan struktur dan pengoperasian Menteri Wilayah sedang dilaksanakan.

Terima kasih.

draft • 10:00 AM

Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng

Cheras.

draft • 10:00 AM

Tuan Tan Kok Wai - Cheras

Terima kasih Yang Berhormat Menteri atas jawapan yang menyatakan komitmen kerajaan untuk melaksanakan reformasi dalam pentadbiran awam ibu negara khususnya.

Beberapa kuasa penting seperti kelulusan perolehan, sumbangan dan pertimbangan pembangunan tidak lagi tertumpu kepada seseorang individu, sebaliknya diperkukuh melalui jawatankuasa lembaga penasihat dan mekanisme semak dan imbang.

Soalan saya, bagaimanakah pendekatan ini akan mengubah budaya membuat keputusan DBKL supaya lebih telus, kolektif dan boleh dipertanggungjawabkan kepada rakyat? Terima kasih.

draft • 10:00 AM

Puan Hannah Yeoh Tseow Suan

Terima kasih Yang Berhormat Cheras, seperti yang telah saya nyatakan tadi, pendekatan reformasi ini bertujuan untuk mengubah budaya kerja mereka daripada model keputusan berasaskan individu banyak tertumpu kepada kuasa Datuk Bandar sebelum ini, kepada model yang berteraskan prinsip tadbir urus yang baik (good governance), kolektif dan integriti.

draft • 10:00 AM

Puan Hannah Yeoh Tseow Suan

Perubahan budaya ini dilaksanakan melalui mekanisme utama iaitu pemerkasaan jawatankuasa yang kita bawa masuk Ahli Parlimen sekarang, pemisahan kuasa dan semak imbang. Saya bagi contoh, sebelum ini Jawatankuasa Audit dipengerusikan oleh Datuk Bandar sendiri, audit perbelanjaan sendiri, sekarang ini tidak lagi dipengerusikan oleh Datuk Bandar.

Kemudian kita juga ada tatacara dan SOP yang standard, pemantauan prestasi dan audit, penggunaan teknologi digital. Saya juga hendak memaklumkan kepada Dewan ini, pelaksanaan pusingan kerja iaitu job rotation juga sedang berlangsung di peringkat DBKL, bagi pegawai lapangan dan jawatan sensitif untuk mengurangkan risiko ancaman keakraban, familiarity trap, dengan izin. Pelaksanaan penggunaan kamera badan juga sedang dioperasikan dan dijangka mulai suku keempat 2026, semua peringkat berfasa akan dilaksanakan.

Satu lagi mengenai pendigitalan. Yang Berhormat, kita hendak memperkasakan Ekosistem Bandar Pintar bagi meningkatkan kualiti penyampaian dan perkhidmatan. Saya bagi contoh semua permohonan menjelang 2030, semua permohonan dilaksanakan secara dalam talian. 170 perkhidmatan permohonan secara dalam talian telah diwujudkan sehingga Julai tahun ini.

DBKL juga menyasarkan sebanyak 180 perkhidmatan N2N menjelang hujung tahun ini bagi memastikan penyampaian perkhidmatan DBKL lebih telus, cepat dan tepat. Dengan adanya sistem e-License kita tidak perlu bergantung pada runners lagi..

draft • 10:10 AM

Tuan Haji Onn bin Abu Bakar - Batu Pahat

[Bangun]

draft • 10:10 AM

Puan Hannah Yeoh Tseow Suan

...dan kita juga telah mengintegrasikan e- License dan SPJ. Satu lagi, pembaharuan tempoh lesen juga telah dilaksanakan bermula 1 Julai tahun ini, di mana kita panjangkan tempoh lesen pada 3 tahun untuk memastikan..

draft • 10:10 AM

Tuan Ir. Ts. Zahir bin Hassan - Wangsa Maju

[Bangun]

draft • 10:10 AM

Puan Hannah Yeoh Tseow Suan

semua pemegang lesen boleh berurusan dengan senang dengan DBKL.

Pengurusan konflik seperti yang saya nyatakan juga sedang berjalan dan semua ini saya bagi jaminan kepada Yang Berhormat Cheras, bahawa DBKL sentiasa mencari jalan sekarang untuk menjadikan mereka sebagai PBT utama di Malaysia. Terima kasih.

draft • 10:10 AM

Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng

Kapar.

draft • 10:10 AM

Dr. Hajah Halimah Ali - Kapar

Terima kasih Timbalan Speaker, tahniah kepada Menteri. Memandangkan reformasi tadbir urus DBKL ini turut melibatkan isu perumahan dan pembangunan semula kawasan kediaman, apakah jaminan kerajaan bahawa reformasi ini tidak akan menjejaskan hak pemilikan harta rakyat di bawah Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan, khususnya bagi penduduk yang terlibat dengan projek pembangunan semula bandar dan sejauh mana reformasi pentadbiran DBKL akan merangkumi penstrukturan semula jabatan dan bahagian dalaman, bagi mengurangkan pertindihan bidang kuasa, khususnya dalam pelaksanaan fungsi teras DBKL seperti perkhidmatan perbandaran, pelesenan dan penyelenggaraan infrastruktur awam yang memberi kesan langsung kepada rakyat?

Terima kasih.

draft • 10:10 AM

Puan Hannah Yeoh Tseow Suan

Tuan Yang di-Pertua, untuk perumahan..

draft • 10:10 AM

Tuan Haji Onn bin Abu Bakar - Batu Pahat

[Bangun]

draft • 10:10 AM

Puan Hannah Yeoh Tseow Suan

Seperti yang saya telah nyatakan, semua permohonan pembangunan akan dimuatkan— dimuat naik dalam portal OSC 3.0.

draft • 10:10 AM

Tuan Ir. Ts. Zahir bin Hassan - Wangsa Maju

[Bangun]

draft • 10:10 AM

Puan Hannah Yeoh Tseow Suan

Dan semua Ahli Parlimen serta orang awam mempunyai akses kepada sistem tersebut di mana, sebelum sebarang kelulusan boleh diberikan kepada pemaju, Ahli Parlimen, serta orang awam. Melalui Ahli Parlimen, mereka boleh salurkan pandangan dan feedback yang akan dipertimbangkan oleh Datuk Bandar sebelum sebarang kelulusan pembangunan diberikan. Saya bagi contoh, jika permohonan bercanggah dengan local plan

(rancangan tempatan), Kaedah 3 yang memerlukan pendengaran awam akan dilaksanakan oleh pemaju dan DBKL untuk mendengar pandangan penduduk, sebelum pembangunan semula akan diadakan juga.

Jadi semua ini sekarang, menggunakan dasar baharu iaitu kita mendapatkan pandangan daripada pemegang taruh, stakeholders consultation banyak dilakukan.

Cuma proses ini akan melibatkan masa yang lebih panjang dan bukan so straight forward dengan izin. Jadi, saya minta sekarang ini kalau penduduk lihat notis Kaedah 3 Pendengaran Awam, mereka jangan lompat kerana sekarang ini, dengan adanya Jawatankuasa OSC, Portal OSC ini maklumat banyak diberikan kepada mereka dan bila mereka dapat banyak maklumat, sometimes dengan izin, it can be bit overwhelming kepada mereka tetapi ini adalah cara pentadbiran baharu, kita hendak libatkan semua penduduk yang terlibat di kawasan tersebut. Terima kasih.

draft • 10:10 AM

Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng

Saya jemput Tuan Haji Bakri bin Jamaluddin, Tangga Batu.

draft • 10:10 AM

2. Tuan Haji Bakri bin Jamaluddin [Tangga Batu]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Tangga Batu minta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan menyatakan langkah-langkah persediaan kerajaan dalam menghadapi fenomena El Nino yang dijangka memberi kesan kepada sektor pertanian dan keterjaminan makanan negara khususnya dari segi bekalan air untuk pengairan, pengeluaran padi, tanaman makanan, penternakan serta langkah memastikan bekalan makanan negara kekal mencukupi. Terima kasih.

draft • 10:10 AM

Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng

Silakan Yang berhormat Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan untuk menjawab.

draft • 10:10 AM

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan - Datuk Seri Haji Mohamad bin Sabu

Terima kasih Yang Berhormat, yang memang concern terhadap soal sekuriti makanan. Kita tahu bahawa soal makanan dan keselamatannya adalah tanggungjawab bersama, dia bukan kerajaan semata-mata, bukan swasta, bukan pihak tertentu, ia nya semua kita bertanggungjawab.

Memang kalau dulu dari segi cuaca dan sebagainya, kalau Nabi Yusuf a.s.

mendapat mimpi tujuh tahun kemarau dan musim yang subur dan sebagainya, tetapi sekarang, alhamdulillah, ada pelbagai teknologi. Di antaranya digunakan untuk meramalkan berdasarkan fakta saintifik.

Soal perubahan cuaca yang akan berlaku di negara kita. Bagi mengurangkan impak gangguan iklim ini, kementerian telah melaksanakan beberapa langkah, sudah tentu memastikan bekalan air, pengairan menerusi pengurusan aset air strategik melalui penyediaan inventori dan pemantauan paras air empangan dan pusat tadahan air akan dipantau sentiasa sekarang ini.

Yang kedua melaksanakan pengurusan sumber air secara bersepadu bagi memastikan penggunaan air mampan dan merentasi sektor. Seterusnya memperluas penggunaan sistem pemantauan pengairan pintar (smart irrigation monitoring) dan sistem pengairan titis bagi mengelak pembaziran serta menyalurkan air secara mikro mengikut keperluan sebenar.

Yang keempat, memperkukuh dan memodenkan infrastruktur pengairan melalui projek menaik taraf sistem saliran ini dibuat secara berterusan mengikut keperluan dan juga mengikut kemampuan kerajaan.

Hal padi, kita sudah tahu bahawa pengeluaran padi dan tanaman padi ini cukup penting, untuk mengoptimumkan penggunaan air sedia ada melalui penjadualan pengairan secara berperingkat dan berhemat, khususnya di kawasan jelapang padi dan tanaman makanan utama, melaksanakan kaedah pengurusan air alternatif mampan dan sistem pengeluaran padi dengan mengoptimumkan kecekapan penggunaan air, termasuklah kalau berlaku kemarau misalnya, di— ada tempat itu berdekatan dengan sungai, maka kita hendaklah menyediakan pam dan sebagainya. Ini yang ikhtiar yang kita cuba buat dan laksanakan. Ini panjang sikit lah.

draft • 10:10 AM

Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng

Ringkaskan.

draft • 10:10 AM

Datuk Seri Haji Mohamad bin Sabu

Sebab dia tanya hal makanan, hal ternakan, hal semua. Tidak apa lah saya tengok dulu ya, insya-Allah.

Pengeluaran padi yang melaksanakan pengurusan air yang alternatif, yang disebut tadi, mempergiat aktiviti penyelidikan supaya kesesuaian dengan cuaca dan sebagainya, maka MARDI telah mengeluarkan benih MR333 Menora yang baharu.

MR297, MR315, MR307, MR284, MRQ76 dan varieti baharu tahan kemarau MR380, MR381 dan MR382.

draft • 10:10 AM

Datuk Seri Haji Mohamad bin Sabu

Ini pun mesyuarat sekuriti makanan kelmarin, Perdana Menteri minta MARDI pertingkatkan lagi untuk mengeluar varieti-varieti baharu, terutama sekali dilihat perkara yield ataupun pendapatan yang dapat per hektar di negeri China yang begitu tinggi, supaya MARDI mempergiatkan lagi penyelidikan mereka.

Sudah tentu operasi pembenihan awan ini dibuat dari masa ke semasa bila berlaku kemarau dan pembenihan awan ini pun dia kena sedikit ada awan. Kalau dia tak ada awan langsung, kita buat pembenihan, dia tidak menjadi. Tetapi di negeri Perak, alhamdulillah pembenihan awan baru-baru ini menjadi.

Bahagian penternakan pula menggalakkan penggunaan pertanian bersekitar terkawal iaitu kita bila berlaku El Nino nanti, pertanian terkawal itu perlu diperbanyakkan sama ada berbumbung atau kawalan cuaca melalui solar dan sebagainya. Seterusnya, kita akan menyalurkan bantuan sekadar termampu kepada penternak yang menghadapi masalah akibat daripada perubahan cuaca El Nino nanti.

Memang padi memang terus menjadi agenda utama kita dan berskala— padi Smart Berskala Besar ini perlu digalakkan. Sekarang dibuka di Sarawak. Di antaranya di Pahang dan beberapa tempat yang lain. Insya-Allah, akan meningkatkan pengeluaran padi. Tetapi gangguan El Nino nanti kita akan melihat masalah itu dan kita akan mencari penyelesaiannya. Jadi, ada panjang lagi saya jawab bertulislah. Boleh saya sambung lagi?

draft • 10:20 AM

Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng

Bagi jawapan bertulis.

draft • 10:20 AM

Datuk Seri Haji Mohamad bin Sabu

Ha?

draft • 10:20 AM

Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng

Bagi jawapan bertulis.

draft • 10:20 AM

Datuk Seri Haji Mohamad bin Sabu

Baik. Terima kasih.

draft • 10:20 AM

Tuan Haji Bakri bin Jamaluddin - Tangga Batu

Boleh.

draft • 10:20 AM

Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng

Tangga Batu.

draft • 10:20 AM

Tuan Haji Bakri bin Jamaluddin - Tangga Batu

Terima kasih Yang Berhormat Menteri dan Speaker. Saya pula tak boleh bagi jawapan— bagi soalan bertulis saya kena cerita dululah. Baik, saya melihat kesan daripada El Nino ini, sebenar ada tiga perkara penting.

Pertama, akan berlaku kenaikan input pertanian disebabkan dia serentak dengan krisis Hormuz, Selat Hormuz.

Yang kedua, kalau kita lihat berlaku keterlambatan penanaman yang menjejaskan rantaian bekalan padi khususnya kemudian super El Nino ini akan buat kemarau yang panjang. Saya tak pasti sama ada kerajaan bersedia. Memang kalau kemarau panjang, akan berlaku defisit air. Dia kadang-kadang sungai pun, empangan pun boleh jadi kering.

Kemudian, masalah jerebu. Kita bercakap soal penggunaan solar. Jerebu sebenarnya akan mengurangkan intensiti cahaya matahari dan juga akan menjejaskan kepada bekalan makanan.

Dan yang terakhir ialah hasil pertanian. Baik, saya nak ulas sikitlah sebab saya tak boleh hantar soalan bertulis lagi. Super El Nino ini jelas akan memberikan kesan besar terhadap pengeluaran dan keterjaminan makanan, terutamanya padi dan jagung yang menjadi makanan utama rakyat Malaysia dan haiwan ternakan.

Baik, diberitakan tahun ini sahaja hanya 10 peratus daripada 560,000 pesawah di Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) memulakan penanaman padi mengikut jadual iaitu pada bulan April. Sebaliknya yang lain berganjak ke bulan Jun dan Julai. Dan ini sudah pasti akan menjejaskan lagi pengeluaran padi negara yang dianjakkan dan kerana akan mengalami kesan sangat buruk sekiranya bertembung dengan El Nino dan sudah pasti akan menjejaskan rantaian padi dan beras untuk negara.

Baik, soalan saya Tuan Yang di-Pertua, jika super El Nino menyebabkan kemerosotan hasil padi dan gangguan bekalan makanan secara serentak di rantau ASEAN sehingga menjejaskan import beras Malaysia, apakah pelan worst case scenario kerajaan untuk menjamin keterjaminan makanan negara? Selain itu, adakah kerajaan bersedia mewujudkan pakej bantuan khas kepada petani yang terkesan termasuk pampasan kehilangan hasil bantuan pengairan subsidi benih dan baja serta dana pemulihan bagi memastikan mereka dapat menguruskan pengeluaran makanan? Kalau ada, berapa jumlah dana yang disediakan?

Baik, yang kedua ialah berdasarkan...

draft • 10:20 AM

Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng

Yang Berhormat.

draft • 10:20 AM

Tuan Haji Bakri bin Jamaluddin - Tangga Batu

Sikit. Ini soalan.

draft • 10:20 AM

Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng

Ini soalan macam jawapan.

draft • 10:20 AM

Tuan Haji Bakri bin Jamaluddin - Tangga Batu

Tak, ini soalan ini. Soalan.

draft • 10:20 AM

Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng

Lagi panjang daripada jawapan.

draft • 10:20 AM

Tuan Haji Bakri bin Jamaluddin - Tangga Batu

Baik, yang kedua.

Berdasarkan keluasan sawah negara kini hanya 520,000 hektar dengan pengeluaran 2.3 juta tan padi setahun, sedangkan SSR beras 80 peratus memerlukan pengeluaran jauh lebih tinggi. Berapakah tambahan keluasan sawah baharu yang telah dikenal pasti oleh kerajaan menjelang 2030 atau adakah kerajaan menjangkakan sasaran 80 peratus itu akan dicapai hanya melalui peningkatan hasil getah? Jika ya, apakah sasaran hasil yang realistik dan bila akan dicapai khususnya dalam menanggulangi cabaran super El Nino? Sekian, terima kasih.

draft • 10:20 AM

Datuk Seri Haji Mohamad bin Sabu

Macam bahas ucapan dasar.

draft • 10:20 AM

Tuan Haji Onn bin Abu Bakar - Batu Pahat

[Bangun]

draft • 10:20 AM

Tuan Manndzri bin Nasib - Tenggara

[Bangun]

draft • 10:20 AM

Tuan Haji Azli bin Yusof - Shah Alam

[Bangun]

draft • 10:20 AM

Datuk Seri Haji Mohamad bin Sabu

Memang bila berlaku bencana, kadang-kalanya kita melihat di Malaysia ini misalnya berlaku kemarau yang agak panjang di Kedah dan Perlis. Penanam padi ada sedikit penanamannya diganjakkan waktu kelewatan akibat daripada kemarau yang panjang. Mula-mula kita nak tabur secara kering, tapi bila berlaku hujan, maka ditanam secara biasa. Tabur kering juga bermula sedikit. Tetapi dalam kemarau yang begitu hebat pula, Harumanis pula bertambah hasil di mana di Perlis tahun ini mencatatkan pengeluaran Harumanis yang agak tinggi.

Ancaman fenomena ini berlaku kemungkinan kepada— nak kata padi, mungkin hal perikanan tetapi dijangka buah-buahan pula akan menghasilkan hasil yang tinggi. Macam tahun ini durian menjadi lambakan yang begitu banyak. Jadi, kadangkala kita memang manusia ini apa yang Allah Taala beri kita merungut tetapi ada kelebihan lain, ada kekurangan yang lain. Tugas kita ialah manage, mentadbir apa yang berlaku itu.

Memang dari segi tanaman padi, skim takafulnya daripada Agrobank, daripada pihak kerajaan, daripada LPP, daripada KADA, MADA. Cuma mereka sentiasa kena berdampingan dengan pegawai-pegawai di tempat ini untuk kita membantu. Misalnya fasa 1 sebanyak RM50 juta, di mana sebanyak RM45.24 juta disalurkan kepada pesawah sejak 2024 yang telah memanfaatkan 8,224.

Manakala fasa 2, 30 Jun 2026, sejumlah RM38.53 juta telah disalurkan kepada 55,058 pesawah yang melibatkan 16,933. 16,933 hektar akibat kemarau yang melanda utara dan timur Semenanjung berikutan El Nino yang melanda pada tahun ini.

Dan soal sawah berskala besar yang dibuka sekarang, jumlahnya saya akan beri secara bertulis. Di antaranya sekarang buka di Pekan, Pahang, di Sabah dan Sarawak. Sarawak yang agak menjadi intensif yang besar sekarang ini.

Begitu juga bencana-bencana yang lain kita akan beri bantuan dan bantuan itu mengikut kadar kemampuan daripada kerajaan. Bantuan bencana pertanian termasuklah bencana pertanian ini sayuran dan sebagainya kita peruntukkan lebih kurang RM25 juta di bawah peruntukan mengurus bagi 2025.

Hal padi, beras kita, stok sentiasa kita jaga. Stok enam bulan. Ramai juga yang di antara netizen yang mengatakan stok beras kita terjamin enam bulan.

Mereka kata kalau begitu, Januari tahun depan tak ada beras lah. Bukan, ertinya kita sentiasa mengekalkan stok itu lebih kurang enam bulan. Ini yang kita lakukan dan kita tahu Ahli Parlimen Melaka ini Tangga Batu ini memang minat dalam hal bidang pertanian.

Soal ini pandangan-pandangan yang diberi itu kita ambil perhatian serius dan kita— saya kata tadi hal El Nino, fenomena cuaca dan sebagainya tanggungjawab kita bersama. Begitu juga FAMA cuba absorb kalau barang yang keluaran berlebihan. Tapi kemampuan FAMA ada had tertentu untuk kita menstabilkan harga seperti sayuran, durian dan sebagainya. Tapi durian tahun ini terlalu mewah, ramai pula orang gembira kerana orang-orang biasa boleh makan Black Thorn, boleh makan apa ini...

draft • 10:20 AM

Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng

Yang Berhormat Menteri sudah keluar tajuk. Ini padi ya.

draft • 10:20 AM

Datuk Seri Haji Mohamad bin Sabu

[Ketawa] Musang King orang-orang bawahan boleh makan.

draft • 10:20 AM

Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng

Ya, ya.

draft • 10:20 AM

Datuk Seri Haji Mohamad bin Sabu

Kalau tidak, kita tengok saja sampai sebiji RM70, RM80 tapi sekarang boleh dapat beberapa belas Ringgit. Itu yang kita lihat. Kadang-kadang orang ini menderita, orang lain bahagia. Orang lain bahagia, orang lain menderita. Itu biasa kita lalui. Terima kasih.

draft • 10:20 AM

Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng

Shah Alam.

draft • 10:20 AM

Tuan Haji Azli bin Yusof - Shah Alam

Terima kasih Yang Berhormat Speaker. Terima kasih Yang Berhormat Menteri atas jawapan tersebut. Kita bicarakan tentang fenomena El Nino yang memberikan kesan negatif kepada sektor pertanian.

draft • 10:20 AM

Tuan Haji Azli bin Yusof - Shah Alam

Tetapi sebagaimana yang disebutkan oleh Yang Berhormat Menteri tadi, ada juga kesan positifnya kepada sektor buah-buahan seperti yang disebutkan tadi.

Durian, harum manis dan seumpamanya. Jadi, saya pun di antara rakyat yang sangat gembiralah bila buah-buahan premium baru-baru ini, harganya murah sebab saya jarang makan buah premium ini. Tetapi sudah tentu tidak kepada penanam dan juga pengusaha.

Jadi, saya ingin bertanya, adakah langkah di pihak kerajaan ini intervensi untuk memastikan harga buah-buahan ini khususnya durian premium dan harum manis tidak terlalu rendah sehingga menjejaskan pendapatan petani? Dan yang kedua, lambakan durian ini adalah satu contoh bila mana lambakan bekalan ini boleh menurunkan harga sesuatu barangan keperluan.

Jadi, bagaimana kerajaan menggunakan situasi ini dalam mendidik rakyat berkenaan dengan ilmu supply and demand dalam ekonomi, terutama menentukan harga barang seperti hasil pertanian, sama ada dalam ataupun luar negara? Dan apakah langkah kerajaan untuk menstabilkan harga barangan terutama hasil pertanian tempatan sekiranya berlaku fenomena seperti El Nino ini? Terima kasih.

draft • 10:30 AM

Datuk Seri Haji Mohamad bin Sabu

Memang kita dari segi Tabung Bantuan Bencana Pertanian ini sentiasa kita hidupkan dari masa ke semasa. Sebab kita tahu bila berlaku satu-satu malapetaka yang akan membebankan, terutama tahun ini El Nino dan juga kemarau dan sebagainya saya sebut tadi, kita hadapi masalah di sudut pengeluaran padi tetapi kita menjadi lambakan pula dalam pengeluaran buah- buahan. Dia dalam— bila cuaca El Nino ataupun banjir dan sebagainya, memang kerajaan sentiasa menyediakan bantuan-bantuan dari masa ke semasa. Ada bantuan yang ditambah ketika waktu itu.

draft • 10:30 AM

Kapten Dato’ Dr. Zulkafperi bin Hanapi (B) - Tanjong Karang

[Bangun]

draft • 10:30 AM

Datuk Seri Haji Mohamad bin Sabu

Ada bantuan yang sedia ada yang ikut bajet tahunan. Semua ini kita akan melihat keperluan-keperluan, supaya ia dapat terus menjamin terutama sekali pada penternak, nelayan, petani dan sebagainya.

Sebab itu, kita dari segi kualiti, kita kena memperbanyakkan eksport.

Baru ini perundingan dengan Kerajaan Thailand misalnya, bagaimana kita nak eksport barang-barangan kita secara cepat ke negeri China melalui jalan kereta api dan perundingan peringkat mutakhir supaya dapat dipermudahkan di sudut kastam dan sebagainya, supaya kalau misalnya durian dan buah-buahan kita dapat dipercepatkan.

Memang durian kita di China kalau kita lihat hanya berada di bandar-bandar besar. Bandar-bandar kecil belum lagi sampai. Bandar kecil negeri China itu penduduknya sejuta lebih. Ini kita kena pasar secara cepat dan perbincangan berbagai teknologi, termasuklah cara preserved buah durian itu supaya dapat dihantar untuk dieksport ke luar negara. Ini usaha kita buat secara di peringkat ASEAN supaya dapat kita lambakan itu tidak terkesan kepada penduduk.

Fenomena cuaca ini kadang-kadang bukan pada pokok sahaja. Dia juga melarat pada manusia. Melarat pada manusia misalnya siang kawan, malam lawan.

Terima kasih.

draft • 10:30 AM

Kapten Dato’ Dr. Zulkafperi bin Hanapi (B) - Tanjong Karang

Tuan Yang di-Pertua.

draft • 10:30 AM

Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng

Saya jemput Dato’ Mohd Isam bin Mohd Isa, Tampin.

draft • 10:30 AM

3. Dato’ Mohd Isam bin Mohd Isa [Tampin]: Terima kasih Puan Yang di- Pertua.

Dari Johor gelombang biru ke Negeri Sembilan, Muafakat dan penyatuan rakyat kekuatan bersama; Soalan Tampin nombor tiga kepada Menteri Pertahanan, Untuk masyarakat dapat maklumat berguna. Tampin minta Menteri Pertahanan menyatakan punca insiden letupan bom tangan semasa latihan ATM baru-baru ini dan langkah segera kementerian bagi memastikan SOP keselamatan latihan diperkasa serta kejadian sama tidak berulang.

Terima kasih Puan Yang di-Pertua.

draft • 10:30 AM

Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng

Saya minta Yang Berhormat Menteri Pertahanan untuk menjawab.

draft • 10:30 AM

Menteri Pertahanan - Dato’ Seri Haji Mohamed Khaled bin Nordin

Puan Yang di-Pertua, untuk makluman Ahli Yang Berhormat, insiden letupan bom tangan ini berlaku pada 16 Jun 2026 semasa latihan peningkatan tempur di Lapang Sasar Kem Hobart, Gurun, Kedah.

Sekitar jam 10.57 pagi, semasa latihan melibatkan Allahyarhamah Lans Koperal Siti Khadijah, Anggota 1 Skuadron Rejimen Askar Jurutera Diraja telah berlaku letupan grenad di dalam kubu yang mengakibatkan beliau serta pengasuh bertugas Allahyarham Sarjan Norazmi bin Abu Bakar mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani.

Berhubung punca kejadian, kementerian ingin memaklumkan bahawa siasatan penuh masih belum dimuktamadkan. Mengikut dasar dan prosedur Tentera Darat, markas Tentera Darat diperuntukkan tempoh empat ke lapan minggu bergantung pada kes dan semak balas untuk menyiapkan laporan siasatan bagi memastikan semua aspek teknikal prosedur dan keterangan saksi diteliti secara menyeluruh, sebelum sesuatu kesimpulan dibuat. Namun, memandangkan kes ini mendapat perhatian serius, kementerian telah menyeru supaya disegerakan siasatan dan juga penyediaan laporan.

Tentera Darat telah menubuhkan Lembaga Siasatan ataupun Board of Inquiry, dengan izin yang telah bersidang sehari selepas kejadian iaitu pada 17 Jun.

Laporan siasatan daripada lembaga siasatan kemudiannya dibawa untuk semakan di peringkat Markas 2 Divisyen dan Markas Pemerintahan Medan Barat Tentera Darat. Kementerian telah menerima laporan daripada Markas Pemerintahan Medan Barat Tentera Darat pada 13 Julai 2026. Namun, hasil semakan markas Tentera Darat mendapati masih terdapat keperluan untuk memanggil semula beberapa saksi dan kemungkinan dapatkan keterangan saksi baharu bagi mengukuhkan dapatan siasatan.

Justeru, laporan yang lebih lengkap dijangka diterima oleh Kementerian Pertahanan daripada markas Tentera Darat pada 23 Julai 2026. Sehubungan itu adalah terlalu awal untuk menentukan punca sebenar kejadian sebelum siasatan dimuktamadkan sepenuhnya. Sebagai langkah segera susulan insiden ini, Tentera Darat telah melaksanakan pemeriksaan khas secara menyeluruh ke atas semua baki grenad dalam pegangan 1 Skuadron RAJD bagi memastikan tiada sebarang kerosakan. Pada masa sama, Panglima Tentera Darat turut mengarahkan semua latihan membaling grenad dihentikan buat sementara waktu sehingga siasatan selesai.

Bagi memastikan kejadian tersebut seumpama ini tidak berulang, Tentera Darat akan memastikan pengukuhan aspek keselamatan latihan melalui beberapa langkah penambahbaikan berdasarkan syor daripada Lembaga Siasatan.

Antaranya adalah pertama meningkatkan pemantauan latihan dengan pemasangan CCTV di kawasan lapang sasar, penggunaan kamera badan bagi tujuan pemantauan dan after-action review, dengan izin serta menambah baik ruang penglihatan dan cermin pemerhati di menara kawalan.

Kedua, mencadangkan penggunaan eco-friendly training hand grenade bagi latihan kering yang menyerupai grenad sebenar untuk memberi pendedahan awal dan pengalaman kepada anggota sebelum menggunakan grenad hidup.

Ketiga, mewujudkan casting policy bagi peluru dan bahan letupan untuk menetapkan jangka hayat penggunaan serta memastikan peluru dan bahan letupan yang telah mencapai tempoh tersebut menjalani pemeriksaan khas secara terperinci dan berkala bagi mengesahkan kebolehgunaannya.

Dan yang keempat, setiap pasukan juga akan dipastikan melaksanakan penilaian kesihatan fizikal dan kesediaan mental semua pegawai serta anggota sebelum menyertai latihan khususnya mereka yang mempunyai rekod kesihatan yang memerlukan pemantauan.

draft • 10:30 AM

Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng

Tampin.

draft • 10:30 AM

Dato’ Mohd Isam bin Mohd Isa - Tampin

Terima kasih Yang Berhormat Menteri. Saya difahamkan Kem Syed Sirajuddin, Gemas, Tampin merupakan antara kem yang kerap menganjurkan latihan tempur bagi memperkukuh tahap kesiapsiagaan dan keupayaan operasi anggota ATM. Walau bagaimanapun, saya turut menerima aduan daripada penduduk setempat bahawa pelaksanaan latihan tersebut didakwa telah menjejaskan kebun dan mengakibatkan kerosakan kecil rumah akibat gegaran.

Sehubungan itu, apakah langkah kementerian bagi memastikan setiap latihan tempur yang dijalankan tidak menjejaskan harta benda serta sumber pendapatan penduduk setempat dan adakah terdapat sebarang mekanisme pampasan yang disediakan oleh kementerian bagi membantu penduduk sekitar yang mengalami kerugian akibat latihan tempur berkenaan? Terima kasih Puan Yang di- Pertua.

draft • 10:30 AM

Dato’ Seri Haji Mohamed Khaled bin Nordin

Terima kasih Yang Berhormat. Yang Berhormat maklumkan ada terima aduan mengenai kerosakan hasil daripada latihan-latihan yang dibuat.

Yang pertama saya ingin jelaskan, kita tak terima apa-apa aduan daripada penduduk dan jika penduduk lapor pada Yang Berhormat, ini pertama kali Yang Berhormat buat aduan kepada kami. Jika ada aduan, kita akan siasat dan kita akan pertimbangkan.

draft • 10:40 AM

Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng

Tanah Merah.

draft • 10:40 AM

Dato’ Sri Ikmal Hisham bin Abdul Aziz - Tanah Merah

Ya, terima kasih.

Tampin, hantar aduan hari ini juga.

Okey, terima kasih Yang di-Pertua. Saya ingin mendapatkan penjelasan daripada Yang Berhormat MENHAN mengenai polemik berkenaan kuasa negeri dan juga kuasa persekutuan dalam pelaksanaan eksesais tentera di kawasan melibatkan taman-taman negeri. Perkara ini ada dibangkitkan oleh Tengku Mahkota Pahang dua bulan lepas, supaya MINDEF ataupun Angkatan Tentera Malaysia memohon kebenaran Kerajaan Negeri Pahang terlebih dahulu sebelum melaksanakan eksesais di kawasan-kawasan tertentu di Pahang.

Saya kira menurut Perlembagaan negara, perkara ini telah digariskan dengan jelas mengenai kuasa negeri dan juga persekutuan. Saya amat berharap isu ini dapat dilaksanakan secara lunak dan bijaksana serta tidak dijadikan precedent case.

draft • 10:40 AM

Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng

Yang Berhormat.

draft • 10:40 AM

Dato’ Sri Ikmal Hisham bin Abdul Aziz - Tanah Merah

Di mana Kerajaan Persekutuan terpaksa memohon kebenaran negeri terlebih dahulu bagi perkara yang sangat jelas di bawah kuasa persekutuan ya. Tapi saya...

draft • 10:40 AM

Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng

Ahli-ahli Yang Berhormat...

draft • 10:40 AM

Dato’ Sri Ikmal Hisham bin Abdul Aziz - Tanah Merah

Ha, okey. Ini soalan dia ya.

draft • 10:40 AM

Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng

Ini MQT. Bukan perbahasan.

draft • 10:40 AM

Dato’ Sri Ikmal Hisham bin Abdul Aziz - Tanah Merah

Ya, ya, faham. Tapi saya juga maklum keperluan MINDEF, mengelak melaksanakan eksesais, khususnya melibatkan bahan letupan dalam kawasan taman-taman negeri yang mungkin boleh merosakkan hidupan marin ataupun batu karang. Saya mohon penjelasan daripada Yang Berhormat MENHAN mengenai perkara ini. Terima kasih.

draft • 10:40 AM

Dato’ Seri Haji Mohamed Khaled bin Nordin

Terima kasih Yang Berhormat. Puan Yang di-Pertua, kalau semua Ahli Parlimen macam Yang Berhormat, kerja saya senang sebab dalam soalannya ada jawapan. [Dewan ketawa] Antara jawapan dia beri, telah dikatakan bahawa— “telah digariskan dengan jelas mengenai kuasa negeri dan juga persekutuan”. Dia juga kata, patut isu ini diselesaikan dengan “lunak dan bijaksana serta tidak dijadikan precedent”. Ya, kita setuju semua.

Dan Yang Berhormat juga telah menyatakan “mengelak melaksanakan eksesais” melibatkan yang “boleh merosakkan hidupan marin dan batu karang”. Saya setuju semua dan itulah jawapannya.

draft • 10:40 AM

[Dewan ketawa]

Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng

Yang Berhormat, sekarang tamatlah sesi untuk Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri.

[Sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri tamat]

draft • 10:40 AM
PERTANYAAN-PERTANYAAN BAGI JAWAB LISAN

Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng

Saya jemput Dato Dr. Richard Rapu @ Aman anak Begri, Betong.

draft • 10:40 AM

Dato Dr. Richard Rapu @ Aman anak Begri - Betong

Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Izinkan saya mula dengan serangkap pantun.

Tanam serai tanam tebu, Tumbuh subur bersama halia; Awal sidang saya soalan satu, Akhir sidang rezekinya masih sama. Soalan saya nombor 1. Terima kasih.

draft • 10:40 AM

1. Dato Dr. Richard Rapu @ Aman anak Begri [Betong] minta Menteri Kesihatan menyatakan statistik terkini kes penyakit tidak berjangkit bagi tahun 2024 hingga 2026 khususnya melibatkan peningkatan kes diabetes dan hipertensi di kalangan golongan belia bawah 30 tahun dan sejauh mana keberkesanan kempen War on Sugar dan penguatkuasaan cukai gula dalam menurunkan kadar obesiti nasional.

draft • 10:40 AM

Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng

Silakan Yang Berhormat Menteri Kesihatan untuk menjawab.

draft • 10:40 AM

Menteri Kesihatan - Datuk Seri Haji Dr. Dzulkefly bin Ahmad

Terima kasih Timbalan Yang di-Pertua, terima kasih sahabat saya Yang Berhormat Betong.

Assalamualaikum dan salam sejahtera, salam Malaysia MADANI.

Ahli-ahli Yang Berhormat, kita telah berlalu pandemik penyakit-penyakit berjangkit COVID-19, 37,000 terkorban dalam dua tahun. Namun sekarang ini, kita berdepan dengan pandemik penyakit-penyakit tidak berjangkit yang saban tahun mengikut DOSM, kalau yang terkorban adalah kurang lebih 94,000, kurang lebih itulah angkanya, dengan tidak ada perintah kawalan pergerakan dan sebagainya.

Inilah perkara yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Betong yang saya kira sangat mustahak. Kalau mengikut yang dipinta adalah statistik bawah umur 30, daripada daftar diabetes kebangsaan secara lebih khusus, tahun 2024 pesakitnya ya adalah 1,926, tahun 2025 1,932 dan sehingga bulan Jun tahun 2026 tahun ini, adalah 660 pesakit. Itu kalau ambil pesakit diabetes.

Adapun kalau saya pergi kepada data daripada saringan yang kita sebutkan sebagai Inisiatif Saringan Kesihatan Kebangsaan (NHSI) tahun 2022, kalau kita perhatikan daripada— yang bermula tahun 2022. Ini adalah yang terkini, 2025.

Seramai 347,813 individu berumur 18 hingga 30 tahun disaring Tuan Yang di-Pertua ya. Dan daripada situ kita perhatikan 341,257 ataupun kurang lebih 98 peratus tidak mempunyai sejarah penyakit tidak berjangkit terdahulu daripada tu. They do not know. Maksudnya dengan tidak–– mereka tidak tahu akan perkara tu.

Keduanya, 11,751 ataupun 3.4 peratus dikenal pasti mempunyai paras glukosa darah yang tinggi. So, daripada yang kita saring itu, 3.4 peratus ataupun 11,000 lebih diabetes. Dan yang ketiganya, 30,170 atau 88 peratus pula mendapati mempunyai bacaan tekanan darah yang tinggi, hypertension ya.

Apa yang perlu saya sebutkan dengan gambaran itu, inilah dia kita dapati bahawa dapatan ini menunjukkan bahawa terdapat golongan muda yang sebenarnya mempunyai faktor risiko daripada empat yang dikatakan penyakit tidak berjangkit ataupun dalam kita kata tiga atau empat serangkai tu; tekanan darah tinggi, kencing manis, tinggi kolesterol dan tinggi berat badan ataupun obes. Kita dapati bahawa mereka mempunyai risiko, faktor risiko ini dan ini sangat membimbangkan, menggusarkan Tuan Yang di-Pertua ya.

Dan kalau saya boleh sebutkan di sikit lagi, kita melihat individu didiagnosis dengan diabetes jenis 2, bukan jenis 1. Jenis 1 born with ya. Jenis 2 ini pada usia semuda, seawal 14 tahun Tuan Yang di-Pertua. Ini sangat membimbangkan.

Dan kalau soalannya adalah keberkesanan kempen War on Sugar, saya boleh sebutkan serba sikit tentang bagaimana kita dapati bahawa dengan kita kenakan sugar, cukai SSB itu (sugar sweetened beverages) daripada 40 sen kita tambah 10 sen lagi dan sekarang ini 90 sen satu liter.

Pada Januari 1, Januari 2025, kita dapati kalau dah itu menjadi ukurannya, antara pengurangan pengambilan minuman bergula dalam kalangan remaja daripada 36.9 peratus kepada 16.4 peratus, Tuan Yang di-Pertua. Manakala Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) menunjukkan penurunan prevalence pengambilan minuman berkarbonat sekurang-kurangnya sekali sehari daripada 36.9 peratus pada tahun 2019, pertama kali saya memimpin KKM dan sekarang ini pengurangan sikit 32.4 peratus tahun 2024 ya.

Kempen Perangi Gula atau War on Sugar dan meningkatkan kadar cukai minuman bergula ini telah sedikit sebanyak menunjukkan kesan. Tapi saya masih rasa agak terlalu awal dalam kita nak menilai pelaksanaan pelan strategik pengurangan gula dalam kalangan rakyat Malaysia ini dan kita akan terus berkerjasama dengan UNICEF untuk membuat kajian keberkesanan–– maaf, kenaikan kadar cukai dan sebagainya itu akan kita teruskan dengan beberapa pendekatan yang lain, termasuklah yang dikatakan sebagai BI (behavioural insights) dan sebagainya dengan juga program KiBar Kami.

Program KiBar adalah Program Kira, Bakar dan Rekod kalori dan juga Healthier Choice Logo (HCL) dan paling mutakhir Tuan Yang di-Pertua adalah Healthier Dining Programme atau HDP yang melibatkan katerer industri. Empat yang kita libatkan; Ajinomoto, Big Onion, Healthy Spoon dan juga Kewpie Malaysia yang mereka ini membuat sajian tidak kurang daripada lima juta sajian setiap tahun.

Itulah kurang lebih pendekatan yang kami sedang lakukan dan akan terus kita pertingkatkan. Terima kasih.

draft • 10:40 AM

Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng

Betong.

draft • 10:40 AM

Dato Dr. Richard Rapu @ Aman anak Begri - Betong

Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, terima kasih Yang Berhormat Menteri di atas jawapan yang diberi.

Sebelum saya kemukakan soalan tambahan, bagi pihak sahabat saya YB Ledang, mohon kita sama-sama mengalu-alukan kehadiran pelajar-pelajar sekolah seramai 77 orang dan enam orang pengiring daripada Parlimen Ledang.

[Tepuk] Selamat datang ke Parlimen.

Jadi Tuan Yang di-Pertua, di kawasan luar bandar termasuk Sarawak, cabaran bukan sahaja berkaitan dengan pemakanan tetapi juga akses kepada saringan awal dan juga rawatan susulan. Jadi soalan saya, apakah strategi khusus kementerian untuk kita meningkatkan saringan penyakit tiga serangkai ini tadi iaitu NCD, hipertensi, diabetes, obesiti khususnya di kawasan pedalaman, contohnya di Sarawak ataupun di kawasan lain supaya penyakit ini dapat kita kesan sebelum berlaku komplikasi.

draft • 10:40 AM

Dato Dr. Richard Rapu @ Aman anak Begri - Betong

Dan seterusnya, berapakah anggaran perbelanjaan tahunan kerajaan bagi rawatan untuk penyakit-penyakit NCD ini; diabetes, hipertensi, komplikasi berkaitan seperti kegagalan buah pinggang? Dan adakah pelaburan dalam program pencegahan ini...

draft • 10:50 AM

Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng

Satu soalan sahaja.

draft • 10:50 AM

Dato Dr. Richard Rapu @ Aman anak Begri - Betong

...menunjukkan pulangan yang lebih baik berbanding kos? Sekian, terima kasih Tuan Yang di-Pertua.

draft • 10:50 AM

Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng

Yang Berhormat Menteri, jawab satu soalan, yang lain boleh bagi jawapan bertulis.

draft • 10:50 AM

Datuk Seri Haji Dr. Dzulkefly bin Ahmad

[Ketawa] Saya nak jawab keempat-empat boleh, Tuan Yang di-Pertua? Pertama adalah kos. Kos penyakit- penyakit tidak berjangkit atau NCDs ini kalau kita ambil direct cost ya, direct cost maksudnya kos langsung dalam fasiliti adalah RM12.4 bilion, seluruh ya. Yang terkait dengan semualah— jantung, paru-paru ya, kanser dan sebagainya itu adalah RM12.4 bilion setiap tahun.

Dan kalau kita ambil indirect cost atau kos tidak langsung dengan erti kata kehilangan produktiviti negara, dia adalah RM51.8 bilion. So, jumlahnya Dato’ Yang di-Pertua, adalah RM64.3 bilion. Itu kerap saya sebut, itulah daripada kalau kita perhatikan direct cost dan indirect cost ini sangat besar yang kita tanggung, Dato’ Yang di-Pertua ya. Dan pastinya dalam hal ini kalau kita ambil saja buah pinggang, kegagalan buah pinggang ataupun end-stage renal failure, itu saja dengan hemodialisisnya dan peritoneal dialysis-nya, semua itu RM3.3 bilion, Dato’ Yang di- Pertua.

So, sangat mustahak saya ingatkan kepada Ahli-ahli Yang Berhormat, bukan sahaja minta saya untuk membina fasiliti-fasiliti kesihatan, klinik-klinik dan hospital di tempat-tempat Ahli-ahli Yang Berhormat, tapi saya mahukan Ahli-ahli Yang Berhormat juga mengambil peranan sebagai ejen membuat penerangan tentang pentingnya untuk Ahli-ahli Yang Berhormat berperanan menjaga kesihatan warga dan rakyat Ahli Yang Berhormat.

Sebab hari dengan pandemik yang saya istilahkan sebagai the silent killer yang membunuh lebih daripada 93,000 setahun berbanding 17,000 semasa pandemik COVID, sangat mustahak bukan hanya dengan kos, tetapi dengan nyawa setiap nyawa yang terkorban akibat daripada pandemik NCD ini.

Jadi, saya boleh jawab dengan yang lain tadi.

[Ketawa] Khasnya daripada soalan untuk— daripada YB Betong, kalau kita ambil tempat-tempat pedalaman ini, kita memang ada langkah-langkah. Kita kerjasama dengan NGO, kita buat liputan saringan dipertingkatkan dengan memberi tumpuan kepada komuniti yang mempunyai akses yang terhad ya, khususnya di Sabah dan Sarawak.

Pendekatan digital, teknologi kesihatan termasuk virtual teleconsultation, virtual health-nya dimanfaatkan, meningkatkan pencapaian dan juga untuk kita dapatkan akses dan capaian mereka untuk kita saring sebelum daripada mereka come down dengan the number one killer NCDs adalah masih lagi serangan jantung, IHD, ischemic heart disease. Dan keduanya adalah paru-paru. Ketiganya adalah apa yang dikatakan sebagai CVA ataupun cerebrovascular accident ini adalah strok. Dan keempatnya adalah kanser dan diikuti dengan yang lain. Kalau yang, yang...

draft • 10:50 AM

Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng

Yang Berhormat.

draft • 10:50 AM

Datuk Seri Haji Dr. Dzulkefly bin Ahmad

Terima kasih, Tuan Yang di- Pertua. Terima kasih.

[Ketawa]

draft • 10:50 AM

Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng

Kuala Nerus.

draft • 10:50 AM

Dato' Dr. Hj. Alias bin Razak - Kuala Nerus

Terima kasih Puan Yang di- Pertua. Terima kasih, Yang Berhormat Menteri. Jadi, bila dengar apa Yang Berhormat Menteri sebut itu, memang menakutkan kitalah. Begitu ramai yang meninggal dan makin bertambah tahun ke tahun kerana NCDs. Jadi, NCDs ini bukan sahaja...

draft • 10:50 AM

Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng

Soalan. Terus kepada soalan.

draft • 10:50 AM

Dato' Dr. Hj. Alias bin Razak - Kuala Nerus

Nak cerita dulu— bukan sahaja daripada gula, tetapi yang isu yang besar sekali adalah yang berkaitan daripada produk merokok dan juga vape, yang mana Yang Berhormat Menteri sendiri pernah membuat satu kenyataan bahawa punca utama kerosakan paru-paru serta menyumbang kepada penyakit COPD adalah kerana rokok dan vape. Dan satu perkara yang terkini ialah tentang keputusan mahkamah tinggi yang memutuskan pengecualian nikotin cecair daripada Akta Racun 1952 adalah tidak sah.

Soalan saya, adakah kementerian akan menyemak semula Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 [Akta 852] dan pendekatan kawal selia vape yang lebih komprehensif sebagai sebahagian daripada strategi pencegahan penyakit tidak berjangkit dalam negara ini? Dan yang akhir, apakah mekanisme yang digunakan bagi memastikan hasil cukai gula dan produk merokok ini disalurkan bagi memperkasakan program pencegahan NCD dan rawatannya? Terima kasih, Yang Berhormat Menteri.

draft • 10:50 AM

Datuk Seri Haji Dr. Dzulkefly bin Ahmad

Terima kasih. Terima kasih sahabat saya Kuala Nerus yang sentiasa peka dengan hal kesihatan. Saya perlu sebutkan bahawa hasil daripada cukai SSB itu ataupun sugar-sweetened beverages itu, dengan izin, telah pun ditindik, earmarked untuk— ia ditindik untuk menangani apa yang dikatakan sebagai direct cost ya, rawatan penyakit-penyakit NCDs ataupun penyakit-penyakit tidak berjangkit tadi, khususnya diabetes dan yang lain ya.

Begitu juga kita sudah ada Kerajaan MADANI— dulu tidak pernah mengizinkan earmarking. Maknanya, hasil daripada cukai ini memang kita untuk merawat penyakit-penyakit NCDs ini khususnya kalau diabetes dan sebagainya.

Kalau hal yang terkait dengan diabetes at DM2 ataupun diabetes mellitus type 2 ya, bukan type 1 kita sedia maklum.

Dan keduanya, yang perlu saya sebutkan tentang hal yang Kuala Nerus mahukan itu Dato’ Yang di-Pertua, kita tetap— setelah kita berhempas-pulas seluruhnya, kita di Dewan ini membentang dan meluluskan Akta 852, Akta Kawalan Produk Merokok ya, yang telah— merupakan akta pertama as a stand-alone ya, dengan izin. Tidak pernah ada negara yang punya stand-alone satu legislation, satu undang-undang yang mengawal selia from end to end ya, daripada permulaan registrasi, pendaftaran sehinggalah on the punishment, tidak ada negara yang punya 852, Akta 852 ini sepertimana Malaysia.

Lalu, setelah kita mengambil sikap untuk mengawal selia ya, kita akan pastikan penguatkuasaan ini berkesan ya, dan khususnya untuk melindungi OBD ataupun golongan orang belum dewasa itu menjadi utama bagi kami.

Adapun yang dibangkitkan oleh Kuala Nerus ini Tuan Yang di-Pertua, mutakhir ini ya, setelah berlaku keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam itu, saya perhatikan— saya telah memaklumkan dan ia telah pun menjadi satu yang diangkat oleh kamar AGC dengan izin, AG’s Chambers ya, Kamar Peguam Negara yang telah membuat apa yang dikatakan sebagai— ataupun membuat apa yang dipanggil sebagai rayuan untuk tindakan ataupun keputusan itu dibuat— what’s the term in English, Dato’ Yang di-Pertua?

Rayuan kepada— the appeal ya, in the appellate court ya, atas keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam, Hakim Dato’ Hajah Aliza itu. So, itu sedang dalam prosesnya dan kita akan terus ya, membuat langkah-langkah menyusuli apa yang menjadi tindakan peguam ataupun kamar ketua— maaf, kamar AG’s Chambers ya, Peguam Negara.

draft • 10:50 AM

Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng

Masa sudah tamat.

draft • 10:50 AM

Datuk Seri Haji Dr. Dzulkefly bin Ahmad

Ya, itu saja. Insya-Allah, perkara ini sedang kita lalui, work in progress. Insya-Allah kami akan dapat memberikan update pada semasa ke semasa, insya-Allah. Terima kasih Dato’ Yang di-Pertua.

Terima kasih, Kuala Nerus.

draft • 10:50 AM

Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng

Saya jemput Dato’ Syed Abu Hussin bin Hafiz Syed Abdul Fasal, Bukit Gantang.

draft • 10:50 AM

Dato’ Syed Abu Hussin bin Hafiz Syed Abdul Fasal - Bukit Gantang

Puan Yang di-Pertua, Yang Berhormat Menteri, soalan saya nombor 2.

draft • 10:50 AM

2. Dato' Syed Abu Hussin bin Hafiz Syed Abdul Fasal [Bukit Gantang] minta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan menyatakan adakah kementerian bercadang memberi kelonggaran bagi tahun 2026 atau memperkenalkan mekanisme khas berkaitan pengeluaran dan pembaharuan lesen penangkapan ikan bagi nelayan Zon A, khususnya nelayan tradisional yang berhadapan dengan tindakan penguatkuasaan akibat isu pelesenan, sedangkan aktiviti penangkapan ikan merupakan sumber utama pendapatan dan kelangsungan hidup mereka.

draft • 10:50 AM

Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng

Silakan, Yang Berhormat Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan untuk menjawab.

draft • 10:50 AM

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan - Datuk Seri Haji Mohamad bin Sabu

Terima kasih, Yang Berhormat Bukit Gantang. Pengeluaran lesen-lesen bot nelayan adalah tertakluk kepada seksyen 10(1) Akta Perikanan 1985 [Akta 317] dan Peraturan-peraturan Perikanan (Kelautan) (Pelesenan Vesel Penangkapan Ikan Tempatan) 1985. Saya ingat yang bertanya tahu kerana pernah menjadi Pengerusi LKIM.

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan melalui Jabatan Perikanan (DOF) melaksanakan sistem pelesenan berdasarkan Dasar Pengawalan Kapasiti Penangkapan Ikan dan Pengurusan Sumber Perikanan secara mampan bagi memastikan sumber perikanan negara terus terpelihara. Sebab itu kita pinda Akta Perikanan pada Parlimen yang lalu, di antaranya untuk mengawal keseimbangan kewujudan ikan di perairan negara kita.

Merujuk kepada data perikanan Jabatan Perikanan Malaysia, sebanyak 16,894 vesel sampan telah direkodkan pada tahun 2025. Hasil kajian taksiran sumber oleh Jabatan Perikanan Malaysia bagi tempoh 2013 sehingga 2016 mendapati sumber perikanan negara telah mengalami kemerosotan yang mana biomas stok ikan hanya berbaki 16 persen hingga 48 persen terutama yang berdekatan dengan pantai.

Ini kerana kita tahu pukat-pukat tunda dan pukat-pukat besar misalnya, kadangkalanya menangkap ikan dekat dengan perairan pantai menyebabkan ikan- ikan di perairan pantai seperti kembung dan ikan cencaru dan sebagainya agak berkurangan.

draft • 10:50 AM

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan - Datuk Seri Haji Mohamad bin Sabu

KPKM sentiasa menilai keberkesanan dasar pelesenan bagi memastikan ia kekal relevan dengan keperluan semasa. Pada masa ini, mekanisme dan syarat sedia ada didapati masih relevan dan memenuhi keperluan semasa dalam memastikan lesen diberikan kepada individu yang benar-benar layak serta bergantung sepenuhnya kepada sektor perikanan sebagai sumber pendapatan utama.

Walaupun tiada insentif pelesenan khusus diperkenalkan pada masa ini, kerajaan menyediakan peluang kepada nelayan yang belum berlesen untuk memohon lesen melalui program pemutihan yang dilaksanakan dari masa ke semasa bagi mengisi kekosongan lesen yang telah dibatalkan. Selain itu, nelayan pesisir pantai boleh mengemukakan permohonan lesen, Lesen Sampan Khas kepada Jabatan Perikanan Daerah untuk dipertimbangkan tertakluk kepada syarat dan kriteria yang ditetapkan oleh jabatan.

Pada tahun 2024, sebanyak 915 lesen telah diluluskan untuk seluruh negara di mana 31 untuk Perak. Manakala 2025, 800 lesen telah diluluskan untuk seluruh negara, tujuh lesen di negeri Perak. Pendekatan ini membolehkan lebih ramai nelayan beroperasi secara sah, mendapat akses kepada pelbagai program bantuan kerajaan serta meningkatkan pematuhan terhadap peraturan perikanan demi kelestarian sumber dan kesejahteraan komuniti nelayan. Terima kasih.

draft • 11:00 AM

Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng

Bukit Gantang.

draft • 11:00 AM

Dato’ Syed Abu Hussin bin Hafiz Syed Abdul Fasal - Bukit Gantang

Puan Yang di-Pertua, untuk makluman Yang Berhormat Menteri, Gantang merupakan— penghuni [Tidak jelas] 30 peratus adalah nelayan kerana dua pertubuhan nelayan kawasan di Bukit Gantang. Jika dasar pelaksanaan pelesenan sedia ada benar-benar berkesan, mengapakan sehingga hari ini masih terdapat ramai nelayan tulen yang telah bertahun-tahun ke laut sering gagal memperoleh lesen?

Adakah berpunca daripada dasar, prosedur atau kelemahan pelaksanaannya? Bolehkah Yang Berhormat Menteri memberi komitmen untuk membuka semula program pemutihan dengan garis semasa yang jelas serta kriteria yang lebih telus supaya nelayan yang benar-benar layak dapat memperoleh lesen secara sah?

Golongan yang mohon ini bukan spekulator atau pelabur besar tapi anak- anak nelayan yang ingin meneruskan warisan keluarga dan mencari nafkah. Adakah kementerian bersedia untuk memastikan setiap pelaksanaan benar-benar memudahkan golongan ini dan bukannya secara tidak langsung menutup peluang mereka mencari rezeki? Terima kasih.

draft • 11:00 AM

Datuk Seri Haji Mohamad bin Sabu

Terima kasih. Itu adalah pandangan umum terhadap apa yang berlaku dalam hal nelayan ini. Memang kriteria memohon Lesen Sampan Khas ini kita tahu dia perakuan sepuluh tahun bermastautin daripada ketua kampung, nelayan tulen, sekurang-kurang dia turun 120 hari ke laut dalam masa setahun, dia hendaklah memiliki sampan, tak pernah memiliki lesen sebelum ini, mendapat sokongan Pejabat Perikanan Negeri. Itu di antara kriteria dan pegawai- pegawai akan melihat dari masa ke semasa kriteria-kriteria itu.

Kemudian, kalau ada misalnya mereka yang bukan bertaraf nelayan tapi mendapat lesen, sila buat aduan secara bertulis ataupun jumpa dengan pihak pegawai kita untuk buat tindakan. Syarat utama ialah kita tahu mesti 18 tahun ke atas, sihat tubuh badan, bekerja sebagai nelayan dan seterusnya kalau dia orang pencen, pencen dia itu tidak melebihi RM2,200 ertinya ada yang pencen tiga, empat ribu pun memohon untuk jadi nelayan pantai. Ini memberi kurang peluang lah, kita beri kepada mereka yang betul-betul memerlukan.

Segala rungutan disebut oleh Bukit Gantang itu kita harap diperincikan kalau ada kes-kes tertentu, kita akan bertindak berdasarkan pada kes-kes yang tertentu yang dilaporkan. Dan secara umumnya apa yang disebutkan Gantang itu saya bersetuju supaya kita pertingkatkan lagi dari sudut kecekapan terutama dalam memberi lesen kepada mereka yang benar-benar layak.

draft • 11:00 AM

Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng

Setiu.

draft • 11:00 AM

Tuan Shaharizukirnain bin Abd Kadir - Setiu

Okey, terima kasih Menteri.

Soalan tambahan saya, adakah kerajaan bersedia untuk mewujudkan SOP pengeluaran lesen secara digital lebih mesra nelayan dalam mengurangkan birokrasi yang sering dihadapi oleh rakyat?

Yang kedua, adakah kerajaan juga bercadang untuk mengeluarkan lesen mengikut dasar komuniti di mana nelayan-nelayan berkongsi lesen untuk membolehkan mereka keluar? Hari ini mereka tak keluar disebabkan oleh sebab tidak ada lesen individu. Sekian, terima kasih.

draft • 11:00 AM

Datuk Seri Haji Mohamad bin Sabu

Terima kasih. Dalam mesyuarat kami kelmarin, hal sekuriti makanan di antaranya disebut negeri yang paling tinggi menerima bantuan untuk baiki kapal-kapal nelayan ialah di Terengganu. Jadi, ertinya kita concerned terhadap keupayaan Terengganu untuk pergi menangkap ikan untuk menambahkan hasil negeri dan juga hasil negara. Segala kelemahan yang ada yang disebutkan tadi itu kita akan pantau sebaik mungkin dan kalau boleh kalau ada particular case sila bawa dan kita akan buat tindakan dengan seberapa segera.

Terima kasih.

draft • 11:00 AM

Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng

Saya jemput Datuk Andi Muhammad Suryady bin Bandy, Kalabakan.

draft • 11:00 AM

Datuk Andi Muhammad Suryady bin Bandy - Kalabakan

Terima kasih Puan Yang di-Pertua. Soalan Kalabakan nombor 3.

draft • 11:00 AM

3. Datuk Andi Muhammad Suryady bin Bandy [Kalabakan] minta Menteri Dalam Negeri menyatakan jumlah aset baharu yang diperuntukkan kepada ESSCOM serta agensi keselamatan lain bagi memperkukuh kawalan di Pantai Timur Sabah termasuk jenis aset, lokasi penempatan dan tahap kesiapsiagaan dalam menghadapi ancaman keselamatan rentas sempadan secara bersepadu dan efektif.

draft • 11:00 AM

Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng

Silakan Yang Berhormat Timbalan Menteri Dalam Negeri.

draft • 11:00 AM

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan - Datuk Seri Haji Mohamad bin Sabu

Saya nak mencelah sikit, boleh?

draft • 11:00 AM

Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng

Bagi jawapan bertulis sahaja bah.

Saya ingin mengambil kesempatan untuk menjemput semua Ahli Dewan ke majlis penyerahan cenderahati buah-buahan tempatan, [Tepuk] yang dianjurkan oleh FAMA berjumlah— bermula 12 tengah hari di bangunan belakang. Kali ini kita ambil.

draft • 11:00 AM

Tuan Haji Abdul Latiff bin Abdul Rahman - Kuala Krai

Terima kasih.

Terima kasih.

draft • 11:00 AM

[Dewan ketawa]

Timbalan Menteri Dalam Negeri - Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar bin Haji Nasarah

Terima kasih Yang Berhormat Yang di-Pertua. Sahabat saya Kalabakan.

Kerajaan melalui ESSCOM bersama dengan agensi keselamatan Persekutuan kita sentiasa memperkukuh tahap keselamatan di Zon Selamat Sabah Timur. Menerusi pendekatan bersepadu yang merangkumi operasi keselamatan, pembangunan, infrastruktur, strategik serta perolehan dan pemodenan aset bagi meningkatkan keupayaan pengawasan penguatkuasaan dan tindak balas terhadap ancaman keselamatan rentas sempadan Yang Berhormat.

Bagi tujuan tersebut, antara aset dan kemudahan strategik yang telah dan sedang dilaksana untuk memperkukuh kawalan keselamatan di Pantai Timur Sabah adalah seperti berikut. Kita menempatkan sistem Big Eyes yang dilengkapi radar dan kamera jarak jauh di Pulau Ligitan, Tawau bagi meningkatkan keupayaan pengawasan pengesan awal di kawasan berisiko tinggi.

Kemudian, perolehan aset baru dan program pemodenan aset Polis Diraja Malaysia yang melibatkan Pasukan Polis Marin, Pasukan Gerakan Am (PGA), VAT 69 Komando dan Unit Tindakan Khas (UTK). Ini merangkumi empat buah kapal untuk kegunaan Pasukan Polis Marin PDRM terdiri daripada sebuah PTV di Lahad Datu yang kini dalam proses perolehan serta dua buah kapal ronda Kelas PZ di Sandakan dan Lahad Datu yang sedang menjalani kerja-kerja long refit.

Bagi aset bot Yang Berhormat, sebanyak 21 buah bot ronda akan ditempatkan di Sabah, ini meliputi dua buah bot peronda kelas FPC untuk Pasukan Polis Marin di Sandakan, Lahad Datu. Ini dalam proses pembinaan, enam buah bot ronda FPV untuk Pasukan Polis Marin di Sandakan, Kota Kinabalu, Lahad Datu, Tawau, Semporna dan yang melibatkan empat buah sedang dinaik taraf dan dibaik pulih. Dan banyak lagi Yang Berhormat.

Selain itu, terdapat 10 buah bot operasi khas yang akan diperoleh, terdiri dari empat buah bot tempur untuk Pasukan Polis Marin dan PGA di Sandakan, Lahad Datu serta enam buah bot Polecat untuk PGA di Beluran, Kota Kinabalu, Kunak, Lahad Datu, Semporna dan Tawau yang kesemuanya kini dalam proses perolehan, Yang Berhormat.

draft • 11:00 AM

Timbalan Menteri Dalam Negeri - Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar bin Haji Nasarah

Kemudian, dalam hal yang sama bagi perkukuhkan kesiapsiagaan operasi.

Kerajaan turut melaksanakan perolehan 65 unit enjin sangkut (OBM) untuk kegunaan pasukan polis marin PGA di Sabah yang kini dalam proses perbekalan dan 12 unit enjin 400 horsepower bagi bot tempur 69 Komando dan Unit Tindakan Khas di Sandakan dan Semporna. Kita banyak lagi Yang Berhormat, perolehan- perolehan yang ada, sama ada di agensi penguat kuasa polis marin dan sebagainya.

Saya ingat detil nya saya bagi secara bertulis, Yang Berhormat.

draft • 11:10 AM

Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng

Kalabakan.

draft • 11:10 AM

Datuk Andi Muhammad Suryady bin Bandy - Kalabakan

Terima kasih atas jawapan yang komprehensif dan menyeluruh daripada Timbalan Menteri. Cuma, berdasarkan daripada aset-aset yang telah dan akan diserahkan dan akan beroperasi nanti, Kalabakan mahu tahu, sejauh manakah keberkesanan kalau diukur berdasarkan indikator prestasi utama ataupun KPI yang ditetapkan oleh pihak kementerian dalam menjamin semua perolehan aset-aset baru tersebut mampu meminimumkan risiko ancaman jenayah rentas sempadan di wilayah ESSZONE yang dilibatkan secara efektif? Terima kasih.

draft • 11:10 AM

Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar bin Haji Nasarah

Terima kasih sahabat saya, Kalabakan. Jadi, kerajaan kalau melihat melalui ESSCOM, kita sentiasa komited untuk tingkatkan keupayaan dan kesiapsiagaan pasukan, infrastruktur pos dan aset keselamatan bagi memelihara dan memperkukuhkan keselamatan serta ketenteraman awam di kawasan perairan Sabah Timur, Yang Berhormat.

Kita berdasarkan Program 10 Pelan Induk Kawalan Keselamatan Sempadan Negara, KDN 2026-2030, keberkesanan indikator dan KPI yang ditetapkan itu, peratus perolehan aset bergantung kepada tahap keupayaan aset-aset tersebut dalam meningkatkan kawalan dan pengawasan sempadan secara menyeluruh.

Perolehan aset berteknologi tinggi seperti sistem kecerdasan buatan (AI), pagar elektronik, kamera infrared dan sebagainya, sistem beradar ini dijangka dapat mengurangkan kebergantungan kepada anggota keselamatan di lapangan, Yang Berhormat. Di samping ini mempercepatkan pengesanan dan tindak balas terhadap ancaman rentas sempadan.

Walau bagaimanapun Yang Berhormat, penetapan KPI yang berlandaskan kepada peratusan perolehan aset semata-mata dilihat masih belum memadai bagi menjamin pengurangan risiko ancaman jenayah rentas sempadan di wilayah ESSCOM secara efektif. Keberkesanan sebenar perolehan tersebut diukur melalui impak operasi yang nyata, termasuklah pengurangan kawasan titik buta, peningkatan kadar pengesanan awal terhadap ancaman, kepantasan tempoh masa tindak balas, pasukan keselamatan serta penurunan statistik indeks insiden jenayah secara signifikan.

Oleh itu Yang Berhormat, selain daripada pencapaian sasaran fizikal perolehan, penilaian berkala terhadap keberkesanan penggunaan teknologi terkini serta tahap koordinasi taktikal antara agensi pelaksana seperti PDRM, APMM dan ESSCOM adalah amat kritikal. Ini bagi pastikan objektif strategik pengukuhan kawalan keselamatan dapat di laksana dan direalisasikan. Terima kasih.

draft • 11:10 AM

Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng

Rantau Panjang.

draft • 11:10 AM

Dato’ Hajah Siti Zailah binti Mohd Yusoff - Rantau Panjang

Ya, terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Soalan tambahan saya, saya ucapkan tahniah di atas apa jua usaha yang telah dibuat untuk memastikan keselamatan di sempadan kita.

Saya ingin tahu, apakah hasil penilaian risiko baharu terhadap ancaman sempadan ini? Dan sejauh mana mekanisme yang telah dibuat untuk memastikan semua agensi-agensi kita, termasuk ESSCOM, PDRM, APMM, ATM, imigresen dan sebagainya, yang mengawal sempadan di seluruh negara untuk memastikan supaya persiapan kita benar-benar dapat menangani isu risiko yang bakal dihadapi dengan pelbagai ancaman baru sekarang ini? Minta penjelasan.

draft • 11:10 AM

Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar bin Haji Nasarah

Yang Berhormat, saya sebut tadi bahawa kita melaksanakan kawalan sempadan di seluruh negara.

Memang kita ada perancangan yang khusus dan tersusun. Selain daripada kita meningkatkan penggunaan teknologi, menyedari ancaman yang semakin berubah dan luar biasa, maka pendekatan teknologi memang sentiasa dilakukan, di samping kita meningkatkan keupayaan pegawai kita.

Dan saya sebutkan tadi bahawa kita ada Program 10 Pelan Kawalan Keselamatan Sempadan Negara yang di bawah Kementerian Dalam Negeri 2026- 2030. Jadi, di bawah ini kita ada penetapan indikator KPI kita, apa yang hendak kita capai berasaskan kepada ancaman yang ada. Dan tentunya antara lain itulah kita koordinasikan semua agensi dan jabatan di bawah KDN sendiri dan juga kolaborasi dengan jabatan-jabatan lain di kementerian-kementerian lain. Terima kasih.

draft • 11:10 AM

Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng

Saya jemput Tuan Sabri bin Azit, Jerai.

draft • 11:10 AM

Tuan Sabri bin Azit - Jerai

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, terima kasih Yang di-Pertua. Soalan saya nombor 4.

draft • 11:10 AM

4. Tuan Sabri bin Azit [Jerai] minta Perdana Menteri menyatakan:

(a) apakah kekangan kerajaan bagi menangani penularan ajaran sesat di Malaysia; dan

(b) berapakah tangkapan yang telah dibuat dan apakah langkah intervensi bagi mengukuhkan akidah kumpulan yang telah jauh menyeleweng.

draft • 11:10 AM

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) - Dr. Zulkifli bin Hasan

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan selamat pagi. Terima kasih Puan Yang di-Pertua, terima kasih Yang Berhormat Jerai. Ada dua bahagian soalan yang dikemukakan, kekangan tangkapan dan langkah intervensi. Izinkan saya memberikan pencerahan sebaiknya.

Kerajaan Persekutuan melalui JAKIM dengan kerjasama jabatan agama Islam negeri-negeri (JAIN) sentiasa proaktif, konsisten dan tegas dalam memantau serta mengambil tindakan terhadap mana-mana doktrin atau dakyah yang menyeleweng daripada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Kita semua sebenarnya sedang berhadapan dengan cabaran baru yang dibawa oleh evolusi digital dan ruang siber. Realitinya, kaedah penyebaran ajaran sesat kini telah berubah daripada pertemuan fizikal secara rahsia kepada penggunaan platform media sosial serta aplikasi mesej tertutup. Peralihan ke alam maya ini secara tidak langsung telah menyukarkan usaha pengesanan awal oleh agensi penguatkuasaan, memandangkan dakyah digital sebegini bergerak bebas melangkaui sempadan geografi.

Selain itu, terdapat kumpulan tertentu yang beroperasi secara tertutup dan berselindung di sebalik program lain seperti pembangunan kendiri, aktiviti kebajikan, rawatan alternatif serta pengajian agama tidak formal bagi menarik dan mempengaruhi masyarakat. Malah, sesetengah fahaman ini tidak lagi tampil dalam bentuk ajaran agama yang jelas, sebaliknya berlatarkan dengan elemen motivasi, kerohanian, psikologi, teori konspirasi atau pengaruh tokoh tertentu yang boleh mengelirukan masyarakat.

Hasil kerjasama bersepadu yang melibatkan kolaborasi strategik antara JAKIM, jabatan agama Islam negeri-negeri, PDRM, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Majlis Keselamatan Negara, PBT, Jabatan Imigresen Malaysia serta Jabatan Pendaftaran Negara, beberapa kejayaan signifikan telah dicatatkan.

Antaranya, melalui tindakan penguatkuasaan secara bersemuka, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah dan PDRM telah membuat tangkapan terhadap 288 orang jemaah Ahmadiah Qadiani pada 31 Mei 2026 di Sabah.

Selain itu, Jabatan Agama Islam Selangor dengan kerjasama PDRM, Jabatan Imigresen, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Majlis Bandaraya Subang Jaya telah menyerbu sebuah markas Syiah di Pusat Perdagangan Lagoon Perdana, Petaling Jaya serta menahan 226 warga asing yakni kesemuanya adalah warga asing.

Antara langkah intervensi menyeluruh bagi menyelamatkan akidah individu dalam jangka masa panjang, usaha ini dilaksanakan secara bersepadu. Antaranya, menyediakan khidmat nasihat secara berkala dan berfokus kepada ahli serta pemimpin kumpulan tersebut.

Kedua, menempatkan individu yang tersasar ke pusat pemulihan akidah berwarta berdasarkan perintah mahkamah syariah di pusat yang ditentukan dan diwartakan oleh kerajaan negeri. Dan ketiga, program rehabilitasi pemulihan dan bimbingan akidah di bawah pengurusan pihak berkuasa agama.

Ingin ditegaskan— kerajaan ingin menegaskan bahawa agenda pengukuhan akidah dalam kalangan orang awam bukanlah satu perkara yang bermusim. Oleh yang demikian, kerajaan menyeru dan mengingatkan orang awam dan semuanya agar berusaha memperkukuhkan akidah melalui kelas pengajian agama yang berautoriti di masjid, surau-surau dan institusi di seluruh negara. Terima kasih.

draft • 11:10 AM

Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng

Jerai.

draft • 11:10 AM

Tuan Sabri bin Azit - Jerai

Terima kasih YB Menteri atas penjelasan. Saya tertariklah dengan sebaran secara evolusi digital dan masuk dalam motivasi dalam kalangan untuk menyesatkan individu-individu dalam negara kita ni. Cuma Yang Berhormat Menteri, kita mempunyai 9.13 juta remaja Islam dalam kalangan belia di negara kita ini. Dan mutakhir ini, kita lihat pemuda— generasi muda kita ini hilang arah dengan gejala bunuh diri, gejala mencederakan orang lain, mengamuk.

Dan apakah langkah atau usaha-usaha kementerian ataupun kolaborasi dengan KPM terutamanya, untuk mengukuhkan akidah daripada pengaruh ajaran?

Mungkin kah ajaran liberalisme itu telah meresap kepada generasi muda kita hari ini? dan dengan kelemahan akidah yang seperti ini, adakah intervensi yang berstrategik terhadap golongan belia? Sekian.

draft • 11:10 AM

Tuan Haji Manndzri bin Haji Nasib - Tenggara

[Bangun]

draft • 11:20 AM

Dr. Zulkifli bin Hasan

Terima kasih Yang Berhormat atas soalan yang diberikan. Ingin dikongsikan kepada semua bahawa di peringkat Persekutuan, kita ada Jawatankuasa Pemandu Menangani Ancaman Akidah Peringkat Kebangsaan, ataupun dikenali sebagai JAPAS dan di bawahnya merangkumi juga KPM, KPT, MKN, KDN, KAGAT, SKMM, JAKIM dan ramai lagi yang bersama-sama memantau, menangani penularan ajaran sesat di Malaysia termasuklah ancaman akidah.

Baik. Berkenaan dengan anak muda, kita sememangnya mempunyai pelbagai pendekatan dan juga langkah-langkah untuk memantapkan lagi akidah anak muda kita. Di antaranya, kita ada Institut Pemantapan dan Perkaderan Akidah Malaysia (IPHAM) di bawah JAKIM, melaksanakan program pemantapan akidah di Malaysia termasuklah kepada anak-anak muda kita. Selain itu, kita ada Program MyInsaniah yang juga melatih, mendedahkan anak-anak muda kita dengan program- program pemantapan akidah. Dan di antara yang terkini adalah Program Rakan Masjid yang kita laksanakan untuk bekerjasama dengan bukan sahaja KPM, ia bekerjasama dengan KBS bagi memfokuskan pembangunan sahsiah kerohanian.

Yang terakhir― mungkin ini adalah perkara yang sangat besar. Walaupun masih kecil lagi, kita sudah memantapkan lagi KAFA dengan KAFA 2.0 iaitu kita memperkukuhkan lagi dari aspek-aspek akidah agar anak-anak kita jati diri mereka lebih kuat, kukuh, boleh menepis ancaman-ancaman akidah.

Terima kasih.

draft • 11:20 AM

Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng

Tenggara.

draft • 11:20 AM

Tuan Haji Manndzri bin Haji Nasib - Tenggara

Terima kasih Tuan Speaker. Soalan tambahan, Yang Berhormat Menteri, berkaitan ajaran sesat.

Memandangkan ajaran sesat ini bergerak secara dalam talian dan merentasi sempadan, apakah bentuk kerjasama kerajaan dengan agensi lain, mahupun juga dengan kerajaan-kerajaan negeri bagi membanteras penularan ini? Dan apakah ada undang-undang yang sedia ada ini cukup untuk membendung gejala ini? Terima kasih.

draft • 11:20 AM

Dr. Zulkifli bin Hasan

Terima kasih, Yang Berhormat. Berkenaan dengan ajaran sesat kini bergerak secara dalam talian dan merentasi sempadan, itu seharusnya diakui dan pihak berkuasa agama dan JAKIM dan seluruh agensi agama mengambil perhatian perkara ini. Oleh itu, kita menangani perkara ini dengan melaksanakan whole-of-government approach ataupun pendekatan keseluruhan kerajaan melalui kerjasama strategik interagency, antara-antara agensi.

Sebagai contoh, JAKIM dan JAIN― jabatan agama Islam negeri― kita melaksanakan penyelarasan fatwa, pemantauan, penguatkuasaan, pendakwaan dan pemulihan akidah. Manakala PDRM― risikan, siasatan jenayah, operasi bersepadu serta tindakan terhadap unsur yang mengancam keselamatan awam.

KDN― penyelarasan aspek keselamatan dalam negeri termasuk tindakan terhadap penerbitan dan organisasi yang menyalahi undang-undang.

MKN― penyelarasan tindakan strategik antara kementerian dan agensi sekiranya sesuatu ajaran memberi implikasi kepada keselamatan negara. SKMM― Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia― pemantauan kandungan digital dan permohonan sekatan kandungan untuk menurunkan kandungan dan sekat yang menyalahi undang-undang serta kerjasama dengan penyedia platform.

Yang terakhir, Puan Yang di-Pertua, Jabatan Peguam Negara memberikan nasihat perundangan dan pengukuhan aspek pendakwaan. Inilah yang kita cuba lakukan untuk menjaga, mengawal akidah, ancaman akidah di negara kita. Terima kasih.

draft • 11:20 AM

Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng

Saya jemput Tuan Chong Zhemin, Kampar.

draft • 11:20 AM

Tuan Chong Zhemin - Kampar

Terima kasih. Soalan saya soalan nombor 5.

draft • 11:20 AM

5. Tuan Chong Zhemin [Kampar] minta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri menyatakan strategi kerajaan menarik pelaburan baharu dalam sektor semikonduktor dan kecerdasan buatan bagi memastikan Malaysia kekal berdaya saing di rantau ini.

draft • 11:20 AM

Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng

Silakan Yang Berhormat Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri untuk menjawab.

draft • 11:20 AM

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri - Tuan Sim Tze Tzin

Terima kasih, Puan Yang di-Pertua.

Landskap ekonomi global yang berubah pantas menuntut pendekatan baru.

Kerajaan tidak lagi hanya bergantung pada tawaran tapak dan kos tenaga kerja rendah sebaliknya berusaha untuk meningkatkan kerumitan ekonomi, iaitu advance economic complexity, dan memperkasakan teknologi bagi mencapai ekosistem yang lebih bernilai tinggi serta mampan.

Bagi merealisasikan hasrat ini, kerajaan telah melancarkan Strategi Semikonduktor Nasional iaitu National Semiconductor Strategy (NSS) pada tahun 2024 sebagai kerangka menyeluruh untuk mengalih tumpuan negara daripada aktiviti rantaian back end seperti pembungkusan dan pengujian kepada aktiviti front end yang bernilai tinggi seperti reka bentuk litar bersepadu, iaitu IC design dan pembuatan wafer yang kini dipacu rapat oleh teknologi kecerdasan buatan (artificial intelligence). Di bawah kerangka NSS, kerajaan melaksanakan tiga strategi utama bagi menarik pelaburan baharu dalam sektor semikonduktor dan kecerdasan buatan (AI).

Nombor satu, penyepaduan ekosistem AI dan reka bentuk semikonduktor melalui pembangunan Malaysia IC Design Park di Selangor, Penang Silicon Design @5km+ di Pulau Pinang serta Negeri Sembilan Semiconductor Valley (NSSV) sebagai zon pertumbuhan baharu di samping kerjasama strategik dengan Arm Holdings untuk mempercepatkan pemindahan teknologi dan melahirkan syarikat tempatan yang kompetitif.

Kedua, pelaksanaan kerangka insentif baharu NIF, iaitu New Incentive Framework, mulai 1 Mac 2026 yang bersifat outcome-based dan berperingkat bagi mendorong peralihan daripada aktiviti hiliran tradisional kepada aktiviti bernilai tinggi seperti reka bentuk litar, litar bersepadu, pembungkusan termaju (advanced packaging), penyelidikan dan pembangunan serta fabrikasi wafer. Kelayakan insentif ditentukan secara tahunan melalui National Investment Aspirations (NIA) score-card. NIF juga menggalakkan pengukuhan rantaian bekalan tempatan serta penjanaan pekerjaan berkemahiran tinggi.

Penubuhan Pasukan Petugas Pusat Data iaitu Data Centre Task Force

(DCTF) yang dipengerusikan bersama oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri dan Menteri Digital serta operasi Pejabat Pelaburan Digital (DIO) sebagai pusat rujukan tunggal bagi memudah cara pelaburan dalam infrastruktur AI, perisian pintar dan penyelesaian Internet of Things. Tuan Yang di-Pertua, pelaksanaan NSS telah menunjukkan hasil yang memberangsangkan. Ada kejayaan. Dalam tempoh Januari 2024 hingga Mac 2026, pelaburan diluluskan dalam sektor semikonduktor mencapai RM91.9 bilion dengan sumbangan pelabur asing (FDI) sebanyak RM83 bilion dan pelaburan dalam negara

(DDI) berjumlah RM8.9 bilion.

Kerajaan juga memberi tumpuan kepada pembangunan bakat dengan sasaran 60,000 tenaga kerja terlatih. Sehingga Disember 2025, sukacita saya laporkan sebanyak 18,062 bakat tempatan telah dilatih menandakan pencapaian memberangsangkan dan berada pada landasan yang betul. Angka ini mencerminkan keyakinan pelabur global terhadap kestabilan dasar pelabur negara serta daya saing ekosistem semikonduktor yang semakin kukuh.

Sekian, terima kasih.

draft • 11:20 AM

Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng

Kampar.

draft • 11:20 AM

Tuan Chong Zhemin - Kampar

Terima kasih jawapan Menteri. Soalan tambahan saya. Malaysia telah berjaya menarik pelaburan besar tetapi cabaran utama ialah memastikan nilai tambah kekal dalam negara. Apakah sasaran khusus kementerian dari segi pekerja berkemahiran tinggi, pemindahan teknologi, perbelanjaan R&D dan penyertaan vendor tempatan bagi setiap pelaburan semikonduktor dan AI yang menerima insentif kerajaan?

draft • 11:20 AM

Tuan Sim Tze Tzin

Terima kasih sahabat saya. Tentang soalan ini, dia ada empat segmen iaitu pekerjaan berkemahiran tinggi, pemindahan teknologi, perbelanjaan R&D dan penyertaan vendor.

Sekian lama industri semikonduktor kita bergantung kepada syarikat-syarikat besar daripada advanced country. Jadi, Malaysia ini, kita sebagai satu hos kepada syarikat-syarikat besar. Jadi, kerajaan bersetuju dengan pandangan bahawa kejayaan menarik pelaburan yang besar tidak akan bermakna jika limpahan ekonomi atau economic spillover ini dan nilai tambah tidak kekal dalam negara kita. Kerana kita tahu bahawa syarikat besar itu mereka control IP mereka, control the core technology. Jadi, fokus kini kerajaan adalah telah beralih daripada kaedah tradisional kepada insentif berasaskan hasil (outcome-based) dipandu oleh Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 dan Kerangka Insentif Baharu (NIF).

draft • 11:20 AM

Tuan Sim Tze Tzin

Fokus utama adalah limpahan ekonomi kepada rakyat melalui sasaran 700,000 peluang pekerjaan menjelang 2030 dengan lonjakan gaji median sektor pembuatan kepada RM4,510 sebulan. Okey, kerajaan juga menyasarkan lonjakan perbelanjaan R&D daripada satu peratus kepada 3.5 peratus kepada KDNK menjelang tahun 2030 melalui pendekatan R&D berpaksikan industri.

Sebagai— okey, inisiatif nasional melalui pembiayaan inovasi Malaysia untuk merapatkan jurang pembiayaan dengan mengukuhkan ekosistem modal teroka.

Venture Capital Malaysia mempelbagaikan instrumen pembiayaan dan memupuk perkongsian rentas sempadan untuk meningkatkan syarikat pemula iaitu Startup Digital dan Industri 4.0 di peringkat serantau dan global...

draft • 11:30 AM

Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng

Ringkaskan jawapan.

draft • 11:30 AM

Tuan Sim Tze Tzin

Ya. Melalui platform industri Connect syarikat MNC yang beroperasi di Malaysia dikehendaki bertindak sebagai syarikat peneraju atau anchor company untuk meningkatkan, mengintegrasikan PKS tempatan ke dalam rantaian bekalan global semikonduktor dan infrastructure AI. Jadi, Tuan Yang di-Pertua, sebenarnya ada kejayaan contohnya dulu kita ada banyak syarikat ATE— Automated Test Equipment company. Mereka dulu adalah vendor kepada syarikat MNC, tetapi selepas puluhan tahun maka sekarang mereka telah berjaya sebagai satu syarikat yang mampu untuk menjadi global leaders in advanced technology atau equipment Automated Test Equipment company sekarang.

Jadi contohnya Pentamaster, ViTrox dan sebagainya— syarikat-syarikat seperti ini telah berjaya menjadi global company. Dalam di segmen IC design pula, ekosistem ini telah dulu ada ramai engineer yang kerja dekat Intel, AMD dan sebagainya.

[Timbalan Yang di-Pertua (Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor) **mempengerusikan Mesyuarat****] Mereka sekarang telah keluar untuk menjadi telah startup syarikat sendiri.

Contohnya, yang terbaru yang baru listed dalam Bursa adalah SkyeChip. Dulu ada Oppstar, SkyeChip dan contohnya GreatAsic dan sebagainya mereka telah berjaya menjadi satu syarikat yang berdaya maju untuk syarikat semikonduktor di Malaysia.

Jadi, insentif kita dulu telah melahirkan kejayaan. Sekarang, kita telah ubah strategi kita untuk outcome-based supaya lebih banyak syarikat tempatan, incentivise syarikat tempatan itu untuk mendapatkan syarikat tempatan ini lebih berdaya maju menggunakan strategi NIF— New Incentive Framework negara kita.

Terima kasih.

draft • 11:30 AM

Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor

[Membaca sepotong doa] Assalamualaikum dan selamat pagi, Yang Berhormat. Seterusnya, saya mempersilakan untuk soalan yang ke-5 di sebelah kiri.

draft • 11:30 AM

Dato' Wira Dr. Ku Abd Rahman bin Ku Ismail - Kubang Pasu

Soalan tambahan.

draft • 11:30 AM

Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor

Ya. Saya nak ke sana lah ini.

draft • 11:30 AM

Dato' Wira Dr. Ku Abd Rahman bin Ku Ismail - Kubang Pasu

Okey, okey.

draft • 11:30 AM

Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor

Saya belum habis bercakap Yang Berhormat ya. Untuk soalan selanjutnya soalan tambahan, di sebelah kiri saya, saya mempersilakan Yang Berhormat.

draft • 11:30 AM

Dato' Wira Dr. Ku Abd Rahman bin Ku Ismail - Kubang Pasu

Minta maaf, Tuan Dato’ Speaker. Terima kasih, Dato’ Dr. Yang di-Pertua.

Soalan tambahan saya ialah mengenai data centre yang berkait rapat dengan pelaburan dan pembangunan AI. Data centre, namun permintaannya akan meningkat secara drastik menurut PETRA, penggunaan tenaga untuk data centre akan mencecah 72,000 gigawatt hour dalam 30 peratus daripada keseluruhan bekalan negara menjelang 2035.

Data centre di tiga buah negeri sahaja— Selangor, Johor, Negeri Sembilan dijangka menggunakan 445 million liter per day antara 2025 hingga 2030.

Soalan saya kepada Dato’ Yang di-Pertua ialah, berapakah jumlah dan nilai pelaburan data centre yang dibangunkan setakat ini dan apakah langkah dan strategi kerajaan bagi memitigasi penggunaan tenaga dan air oleh data centre supaya ia tidak menjejaskan keperluan tenaga dan air untuk industri dan penduduk Malaysia dalam jangka masa panjang. Terima kasih Dato’ Yang di-Pertua.

draft • 11:30 AM

Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor

Sila, Yang Berhormat Menteri Pelaburan.

draft • 11:30 AM

Tuan Sim Tze Tzin

Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Saya untuk menjawab isu data centre kita telah menubuhkan Data Centre Task Force (DCTF) yang khususnya untuk mengkaji keseluruhan ekosistem data centre. Kerana kita tahu bahawa data centre itu walaupun bagus, tetapi dia memang ada keperluan dari segi tenaga seperti Kubang Pasu katakan tadi memang memerlukan tenaga yang sangat tinggi dan juga penggunaan air.

Jadi, apa yang kerajaan buat adalah, kita mengkaji permintaan, permohonan, application berapa yang diperlukan. Dan kita tengok kapasiti kita, kapasiti dari segi tenaga kita, kapasiti dari segi air selepas itu, kita baru luluskan. Kita akan sangat- sangat bertanggungjawab kerana kita tahu bahawa tenaga itu kita tidak boleh membebankan rakyat. Air itu kita kena pastikan prioriti adalah untuk penduduk dan rakyat Malaysia.

Jadi, ada akses kapasiti barulah kita approve kepada syarikat data centre. Setakat ini, apa yang dimintakan dalam DCTF itu kita masih mempunyai akses kapasiti yang boleh menampung permintaan. Jadi, itulah kerajaan melalui DCTF untuk segala permohonan. Untuk menjawab soalan tentang, berapakah jumlah investment dan sebagainya itu saya kena bagi secara bertulis kerana saya tidak ada setakat ini, tapi saya ingin mengatakan bahawa data centre itu dia sebenarnya adalah sesuatu yang amat diperlukan industri ini.

Data ini akan diperlukan selama-lamanya dalam kehidupan kita ya dari segalanya. Information, gambar, video dan sebagainya, dia jadi data dan dia memerlukan satu tempat untuk di hosting. Dan Malaysia setakat ini merupakan satu negara di Rantau Asia Tenggara yang merupakan pilihan pertama untuk datang ke Malaysia.

Jadi, ini adalah sesuatu yang kita boleh capture dari segi pelaburan dan, tetapi saya kena, saya akan assure Kubang Pasu bahawa kerajaan akan berhati-hati untuk memastikan bahawa kita tidak akan memangsakan rakyat kita dari segi tenaga dan juga air. Terima kasih.

draft • 11:30 AM

Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor

Terima kasih, Yang Berhormat. Majlis ke soalan yang ke-6. Dengan ini dipersilakan Tuan Pang Hok Liong, Yang Berhormat Labis.

draft • 11:30 AM

Tuan Pang Hok Liong - Labis

Terima kasih, Dato’ Timbalan Speaker.

Sebelum saya kemukakan soalan saya, saya mahu keizinan untuk mengalu-alukan rombongan SMK Sultan Abu Bakar daripada Muar anjuran YB Bakri.

Yang Berhormat Speaker, nombor saya soalan Labis adalah nombor 6..

draft • 11:30 AM

Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor

Dengan sedemikian dipersilakan Menteri Kewangan untuk menjawab soalan tersebut.

draft • 11:30 AM

6. Tuan Pang Hok Liong [Labis] minta Menteri Kewangan menyatakan, memandangkan ramai pemegang polisi insurans terpaksa menghentikan perlindungan insurans kesihatan mereka akibat kenaikan premium yang tinggi, bila kerajaan akan memperkenalkan peraturan untuk memastikan syarikat-syarikat insurans mengawal atau menurunkan premium insurans kesihatan yang semakin membebankan rakyat.

draft • 11:30 AM

Timbalan Menteri Kewangan - Tuan Liew Chin Tong

Terima kasih Yang di-Pertua, terima kasih Yang Berhormat Labis. Kerajaan memahami kebimbangan rakyat berhubung kenaikan premium insurans dan takaful perubatan dan kesihatan ataupun MHIT serta kesannya terhadap kemampuan mereka untuk mengekalkan perlindungan. Kenaikan kos premium MHIT yang berlaku pada tahun 2024 adalah disebabkan oleh peningkatan tuntutan yang mendadak selepas COVID serta penangguhan pelarasan semula kadar premium oleh pengendali insurans dan takaful ataupun ITO sepanjang tempoh masa pandemik.

Kenaikan premium juga didorong oleh pelbagai faktor seperti inflasi kos, penjagaan kesihatan dan penggunaan perkhidmatan kesihatan yang semakin meningkat sekali gus menyebabkan kos tuntutan meningkat dan premium pelan MHIT sedia ada menjadi lebih mahal. Antara tahun 2021 hingga 2023, jumlah kos tuntutan MHIT meningkat sebanyak 73 peratus jauh mengatasi pertubuhan 21 peratus dalam premium MHIT yang dikutip.

Dapatan ini selaras dengan laporan terkini Bank Dunia yang menunjukkan bahawa peningkatan penggunaan perkhidmatan kesihatan merupakan antara faktor utama yang menyumbang kepada inflasi tuntutan. Oleh itu, penyelesaian yang mampan perlu merangkumi langkah untuk menangani punca utama peningkatan kos penjagaan kesihatan dan bukan sekadar mengawal atau mengehadkan premium semata-mata.

draft • 11:30 AM

Timbalan Menteri Kewangan - Tuan Liew Chin Tong

Selaras dengan ini, Bank Negara Malaysia telah memperkenalkan langkah- langkah interim sejak Disember 2024 bagi mengurangkan kesan kewangan terhadap pemegang polisi yang mengalami kenaikan premium serta memastikan perlindungan MHIT yang berterusan. Berdasarkan data semasa, lebih 90 peratus pemegang polisi mengalami pelarasan kurang daripada 10 peratus pada tahun pertama. Di samping itu, ITO telah membenarkan pengaktifan semula polisi perubatan yang telah ditamatkan atau luput akibat pelarasan premium tanpa keperluan underwriting tambahan.

Setakat Disember 2025, lebih daripada 23,000 polisi yang terkesan telah diaktifkan semula. Kerajaan juga telah memperkenalkan strategi RESET bagi menangani inflasi kos penjagaan kesihatan swasta secara dalam jangka masa panjang.

Antara inisiatif utama ialah pelaksanaan Pelan MHIT Asas, juga dikenali sebagai MediAsas. MediAsas bertujuan menyediakan perlindungan perubatan yang lebih mampu milik dan mampan untuk jangka masa panjang kepada rakyat. Ini membolehkan lebih ramai rakyat Malaysia mendapatkan perlindungan penjagaan kesihatan swasta. Buat masa ini, kerajaan sedang giat menjalankan persiapan bagi program rintis MediAsas yang akan bermula menjelang akhir Julai 2026. MediAsas ini dijangka dilancarkan sepenuhnya di peringkat nasional pada Januari 2027.

Kerajaan akan terus komited untuk bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan bagi memastikan sistem penjagaan kesihatan negara kekal lebih mampu milik, mudah diakses dan mampan bagi kepentingan rakyat. Terima kasih.

draft • 11:40 AM

Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor

Silakan Ahli Yang Berhormat Labis, soalan tambahan.

draft • 11:40 AM

Tuan Pang Hok Liong - Labis

Terima kasih kepada Yang Berhormat Timbalan Menteri. Soalan tambahan saya, apakah kelebihan utama MediAsas berbanding pelan insurans kesihatan sedia ada di pasaran khususnya dari segi perlindungan dan juga keterjangkauan premium dan juga manfaat kepada rakyat secara amnya? Terima kasih.

draft • 11:40 AM

Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor

Silakan Menteri.

draft • 11:40 AM

Tuan Liew Chin Tong

Terima kasih, Yang Berhormat Labis. Terima kasih, Yang di-Pertua. MHIT atau MediAsas, MediAsas akan menawarkan perlindungan yang lebih mampu milik dengan menggariskan hospital atau memberi kriteria kepada hospital supaya hospital-hospital mematuhi apa yang telah ditetapkan.

So, dia akan ada Tier 1 hospital dan Tier 2 hospital. Tier 1 hospital perlu ada transparency dari segi ketelusan, dari segi harga dan juga kita akan memastikan pelaksanaan DRG atau Diagnosis-Related Group secara berperingkat supaya memastikan kos penjagaan kesihatan dipantau dan juga diselaraskan di peringkat hospital Tier 1. Hospital Tier 2 dikira hospital premiumlah. Dengan itu kita harap apabila hospital swasta dalam kategori satu atau Tier 1, kos dia boleh dikawal, maka premium akan dikurangkan atau stabil dalam satu tahap jangka panjang dengan kawalan-kawalan kos di hospital Tier 1.

draft • 11:40 AM

Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor

Silakan Yang Berhormat Langkawi.

draft • 11:40 AM

Dato’ Mohd Suhaimi bin Abdullah - Langkawi

Terima kasih, Dato’ Dr. Yang di-Pertua. Minggu lepas, Yang Berhormat Menteri, PAC telah mendedahkan kelemahan systemic insurance di mana sesetengah syarikat mengasingkan pemegang polisi ke dalam portfolio lama yang ditutup atau closed pool apabila memperkenalkan pelan atau rider baru.

Yang Berhormat Menteri, bolehkah menyatakan sejauh manakah Bank Negara Malaysia memantau dan mengambil tindakan tegas terhadap amalan closed pool ini? It’s unfair, oleh syarikat insurans yang mendiskriminasi pemegang polisi sedia ada terutamanya macam kami ini, warga emas.

Dan apakah kerajaan bersedia mewajibkan pelaksanaan sistem penarafan komuniti atau community rating system bagi menyatukan semua portfolio risiko demi memastikan keadilan premium. Sekurang-kurangnya kami yang berumur ini dapat disubsidi oleh anak-anak muda yang membayar premium yang lebih mudah. Terima kasih, Dato’ Dr. Yang di-Pertua.

draft • 11:40 AM

Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor

Silakan Menteri.

draft • 11:40 AM

Tuan Liew Chin Tong

Terima kasih. Dalam pelan MediAsas yang akan dilancarkan oleh Bank Negara bersama dengan Kementerian Kesihatan dan Kementerian Kewangan pada tahun depan, salah satu feature ialah BNM akan cuba memastikan no look back ataupun apa yang telah dalam insurans yang dia telah mendapat perlindungan, apabila ada kes ataupun ada penyakit, dia boleh sambung dan dapat tuntutan. No look back policy, supaya peruntukan ini boleh memastikan mereka yang sampai satu umur, walaupun ada penyakit baru, dia tidak akan tidak diberikan perlindungan.

Untuk kes atau keadaan yang disebutkan oleh Yang Berhormat tadi dalam yang telah dikesan oleh Jawatankuasa Select Committee, Bank Negara akan mengambil tindakan. Terima kasih.

draft • 11:40 AM

Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor

Terima kasih, Yang Berhormat. Majlis ke soalan 7. Dipersilakan Tuan Haji Wan Hassan bin Mohd Ramli, Yang Berhormat Dungun. Silakan Yang Berhormat.

draft • 11:40 AM

Tuan Haji Wan Hassan bin Mohd Ramli - Dungun

Terima kasih, Dato’ Timbalan Yang di-Pertua. Soalan nombor 7.

draft • 11:40 AM

7. Tuan Haji Wan Hassan bin Mohd Ramli [Dungun] minta Menteri Ekonomi menyatakan, sejauh mana cadangan klasifikasi sosioekonomi baharu berasaskan Perbelanjaan Asas Kehidupan Wajar (PAKW) dapat memastikan golongan berpendapatan sederhana yang terkesan dengan peningkatan kos sara hidup tidak tercicir daripada bantuan dan subsidi Kerajaan.

draft • 11:40 AM

Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor

Silakan Menteri Ekonomi untuk menjawab.

draft • 11:40 AM

Timbalan Menteri Ekonomi - Dato’ Indera Mohd Shahar bin Abdullah

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih Dato’ Dr. Yang di-Pertua. Terima kasih, Yang Berhormat Dungun.

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, pada masa ini pemberian bantuan sosial dan kemiskinan adalah umumnya berdasarkan had Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK), peringkat nasional terkini, iaitu RM2,705 pada tahun 2024. PGK pun telah mengambil kira keperluan asas isi rumah, merangkumi makanan dan bukan makanan termasuk perumahan, kesihatan dan pendidikan.

Pemberian bantuan juga turut ditumpukan kepada golongan B40, berdasarkan had kelayakan kumpulan pendapatan. Had kelayakan tersebut adalah berdasarkan pendapatan kasar isi rumah. Ahli Yang Berhormat, kerajaan sedang meneliti beberapa kaedah pengukuran yang lebih sesuai bagi menentukan kumpulan sasar termasuk penggunaan kaedah pendapatan boleh guna bersih, dengan izin, net disposable income (NDI).

Konsep NDI ini Yang Berhormat, boleh menjadi asas dalam penentuan pemberian bantuan bagi mengurangkan risiko keciciran dan bersifat lebih adil, mengambil kira aspek kehidupan wajar serta berbeza mengikut lokasi dan demografi isi rumah. Secara prinsip, Dato’ Dr. Yang di-Pertua, NDI dikira melalui dua peringkat.

Pertama, pendapatan kasar (gross income), ditolak dengan potongan berkanun seperti KWSP, PERKESO, cukai pendapatan dan zakat, untuk mendapat pendapatan boleh guna, dengan izin, disposable income (DI).

Kedua, DI tersebut ditolak pula dengan jumlah pendapatan perbelanjaan asas bagi menjalani kehidupan wajar. NDI adalah pendapatan sebenar yang ada pada isi rumah untuk simpanan atau perbelanjaan lain. Kerajaan akan menumpukan usaha bagi memastikan kelas-kelas pendapatan yang rendah dan tercicir dalam masyarakat akan terus diberi pembelaan berdasarkan keperluan tanpa mengira kaum dan lokaliti.

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, had pendapatan isi rumah M40 adalah antara RM5,860 dan RM12,679 termasuk isi rumah berpendapatan sederhana pada peringkat nasional pada tahun 2024. Oleh yang demikian, Ahli Yang Berhormat, had pendapatan purata isi rumah M40 melebihi had pendapatan garis kemiskinan PGK, iaitu RM2,705.

Namun demikian, kerajaan prihatin dengan masalah yang dihadapi oleh kumpulan isi rumah M40. Sehubungan dengan itu, kerajaan dalam Rancangan Malaysia Ketiga Belas 2026-2030 akan terus memberi tumpuan untuk menangani kos sara hidup melalui strategi-strategi serampang dua mata, iaitu dengan meningkatkan pendapatan rakyat serta membendung kenaikan kos barangan dan perkhidmatan asas termasuk makanan, kesihatan, perumahan, pendidikan, utiliti dan pengangkutan awam.

draft • 11:40 AM

Timbalan Menteri Ekonomi - Dato’ Indera Mohd Shahar bin Abdullah

Usaha ini bukan hanya memberikan manfaat kepada kumpulan rentan, malah turut memanfaatkan golongan M40. Pendekatan pembangunan inklusif ini bertujuan memastikan pertumbuhan pendapatan sebenar rakyat dapat meningkat lebih baik atau sekurang-kurangnya seiring dengan peningkatan kos sara hidup dan pada masa yang sama menangani kemiskinan dan kesenjangan serta memperluaskan perlindungan sosial secara menyeluruh dan mampan bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Di samping itu Ahli Yang Berhormat, kerajaan melalui pelbagai kementerian dan agensi juga mempergiatkan usaha memperluaskan program literasi kewangan, menggalakkan budaya simpanan yang mampan serta menambah baik perlindungan sosial bagi memperkukuhkan kesejahteraan rakyat.

Pendekatan menyeluruh ini, bertujuan memastikan isi rumah lebih bersedia menghadapi ketidaktentuan ekonomi sekali gus menyokong pertumbuhan ekonomi yang inklusif, mampan dan berdaya tahan. Terima kasih Dato’ Dr. Yang di-Pertua.

draft • 11:50 AM

Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor

Berikut dipersilakan Yang Berhormat untuk soalan tambahan.

draft • 11:50 AM

Tuan Haji Wan Hassan bin Mohd Ramli - Dungun

Terima kasih Dato’ Timbalan Yang di-Pertua. Terima kasih Timbalan Menteri. Kalau kita melihat kepada data terkini yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, menunjukkan purata kos sara hidup di kawasan bandar, jauh lebih tinggi berbanding kawasan luar bandar.

Soalan saya, adakah kajian lapangan sebenar, bagi tahun 2023, 2024 dan 2025 dibuat oleh pakar-pakar ekonomi untuk mengatasi dan cadangan penyelesaian menyeluruh kepada dua isu utama? Kos sara hidup itu yang pertama, isu inflasi dan yang kedua kenaikan harga barangan keperluan. Pohon penjelasan. Terima kasih.

draft • 11:50 AM

Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor

Silakan menteri.

draft • 11:50 AM

Dato’ Indera Mohd Shahar bin Abdullah

Terima kasih Ahli Yang Berhormat Dungun. Saya bersetuju dengan pandangan Ahli Yang Berhormat Dungun, di antara kemampuan, keperluan dan kehendak. Ini adalah perkara yang akan mempengaruhi corak perbelanjaan isu rumah rakyat Malaysia. Itu sebabnya Yang Berhormat, kita lakukan Perbelanjaan Asas Kehidupan Wajar (PAKW) ini, dan kita membangunkan kalkulator PAKW yang boleh kita pergi ke laman web mypakw.dosm.gov.my.

Bagi untuk apa, bagi isi rumah dapat melihat bagaimana perbelanjaan mereka, corak perbelanjaan mereka. Kerana kita akui sepertimana Yang Berhormat sebutkan tadi, yang berada di bandar, sudah pasti berbeza yang berada di Kelantan.

Saya bandingkan Kuala Lumpur, 5639 (PAKW) tetapi di Kelantan, 4254. Kalau di Sabah 4511.

Perbezaan ini kita akui kerana kita nak melihat bagaimana intervensi yang harus kita lakukan. Itu sebabnya kita lakukan pelbagai program latihan untuk menaikkan syiling, menaikkan lantai supaya mereka mempunyai keupayaan untuk mendapat gaji yang tinggi. Kerana pendekatan yang kita lakukan berdasarkan, setiap Rancangan Malaysia Lima Tahun, kita akan adakan dua kali pertimbangan.

Itu sebabnya PJK itu, dia tak statik. Dia berubah-ubah. Kalau kita lihat tahun 2024, HIES yang terkini yang akan datang pada 2027, akan dilaporkan pada 2028.

2024 RM2705, untuk PGK keseluruhan. Berbanding RM980, 2016. Maknanya kerajaan mengambil kira pandangan Ahli Yang Berhormat untuk melihat perubahan- perubahan ini melalui kajian-kajian yang dibuat di bawah DOSM. Terima kasih Ahli Yang Berhormat.

draft • 11:50 AM

Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor

Sebelah kanan? Jika tidak ada saya akan bagi sebelah kiri. Sebelah kerajaan tiada soalan, silakan Yang Berhormat Kota Melaka.

draft • 11:50 AM

Tuan Khoo Poay Tiong - Kota Melaka

Ya, terima kasih Dato’ Timbalan Speaker. Berkaitan dengan inflasi ini sekarang rata-rata ialah berkaitan, saya nak bangkitkan tentang BUDI95, di mana kuota sekarang ialah 200 liter. Sebelum ini ialah 300 liter. Jadi rata-rata ada mengatakan terutamanya mereka yang terlibat dalam kerja marketing. 200 liter itu memang tidak cukup.

Jadi adakah Kementerian Ekonomi bersedia untuk membawa isu ini kepada kabinet supaya mempertimbangkan semula agar bagi mereka yang perlu ya, kita boleh berikan kepada mereka 300 liter. Terima kasih Timbalan Speaker.

draft • 11:50 AM

Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor

Silakan Timbalan Menteri Ekonomi untuk menjawab.

draft • 11:50 AM

Dato’ Indera Mohd Shahar bin Abdullah

Ahli Yang Berhormat, Kota Melaka terima kasih atas soalan tersebut. Walaupun ia agak tersasar sikit berkaitan kementerian saya. Cumanya apa yang saya boleh jawab, kerana ia melibatkan Kementerian Kewangan berdasarkan penentuan kuota liter tersebut.

Cuma apa yang saya tidak boleh nyatakan Dato’ Dr. Yang di-Pertua, kerajaan memang sentiasa melihat apa sahaja perkembangan khususnya berkaitan dengan krisis ini di bawah MTEN. Minggu ini kita baru selesai mesyuarat MTEN dan kita akan ada minggu-minggu berikutnya.

Dalam minggu tersebut kita berbincang bagaimana impak, kesan kos sara hidup. Bukan sahaja kos sara hidup, saya dengar tadi berkaitan El Nino juga kita bincang dalam MTEN bagi memastikan Kerajaan MADANI yang ada pada hari ini mengkoordinasi untuk— dengan semua kementerian. Bagi kita memastikan polisi atau tindakan intervensi yang kita buat akan membantu rakyat yang terbanyak.

Kerana bagi kita sebagai kerajaan kita mesti menjaga kebajikan rakyat. Terima kasih Dato’ Dr. Yang di-Pertua.

draft • 11:50 AM

Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor

Terima kasih Yang Berhormat. Soalan yang kelapan. Atas urusan yang tidak dapat dielakkan, Yang Berhormat Dato' Sri Dr. Richard Riot anak Jaem tidak dapat hadir.

Dengan itu saya ke soalan yang kesembilan. Dengan ini dipersilakan Tuan Mohd Nazri bin Abu Hassan, Yang Berhormat Merbok. Silakan.

draft • 11:50 AM

Tuan Mohd Nazri bin Abu Hassan - Merbok

Terima kasih Dato’ Dr.

Speaker. Soalan saya nombor 9.

draft • 11:50 AM

9. Tuan Mohd Nazri bin Abu Hassan [Merbok] minta Menteri Pengangkutan menyatakan:

(a) sama ada kerajaan bercadang mewajibkan pemeriksaan kesihatan sebagai syarat tambahan bagi pembaharuan lesen memandu bermula pada usia 70 tahun ke atas; dan

(b) sejauh manakah cadangan tersebut mampu meningkatkan tahap keselamatan jalan raya tanpa menjejaskan mobiliti dan kesejahteraan warga emas.

draft • 11:50 AM

Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor

Silakan Menteri Pengangkutan untuk menjawab.

draft • 11:50 AM

Timbalan Menteri Pengangkutan - Datuk Haji Hasbi bin Haji Habibollah

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Tuan Yang di-Pertua, untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Kementerian Pengangkutan pada masa ini tidak mewajibkan pemeriksaan kesihatan sebagai syarat tambahan bagi pembaharuan lesen memandu kompeten atau pun CDL kenderaan persendirian bermula pada usia 70 tahun ke atas.

Statistik Polis Diraja Malaysia menunjukkan bahawa pada tahun 2025, sebanyak 3.5 peratus daripada jumlah keseluruhan kemalangan jalan raya melibatkan warga emas berusia 70 tahun ke atas. Sementara itu, sebanyak 69.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kemalangan jalan raya melibatkan warga berusia antara 16 hingga 40 tahun.

Walau bagaimanapun, data ini merangkumi sama ada sebagai pemandu, penunggang, penumpang atau pun mangsa, dan tidak menunjukkan bahawa umur semata-mata merupakan faktor utama penyumbang kepada kemalangan. Begitu juga pada tahun 2024, sebanyak tiga peratus daripada jumlah keseluruhan kemalangan jalan raya melibatkan warga emas yang berusia 70 tahun ke atas.

Sementara itu sebanyak 65.2 peratus daripada jumlah keseluruhan kemalangan jalan raya melibatkan warga berusia 16 hingga 40 tahun.

Walau bagaimanapun, MOT mengambil maklum trend penuaan populasi di Malaysia. Dengan peratusan penduduk berumur 65 tahun ke atas kini telah melebihi tujuh peratus berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia. Sehubungan itu MOT senantiasa meneliti amalan terbaik antarabangsa berkaitan pelesenan pemandu warga emas.

Berdasarkan kajian yang dijalankan oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), dapatan kajian dan analisis antarabangsa menunjukkan bahawa tiada bukti yang konklusif, bahawa pengenalan pemeriksaan kesihatan mandatori berasaskan umur mampu mengurangkan kadar kemalangan secara signifikan.

Pada masa yang sama, sekatan yang dikenakan berdasarkan faktor umur semata-mata berpotensi menjejaskan mobiliti dan kesejahteraan warga emas khususnya dalam mengakses perkhidmatan kesihatan, urusan harian dan aktiviti kemasyarakatan. Perlu juga dinyatakan bahawa peningkatan usia tidak semestinya menyebabkan seseorang hilang keupayaan untuk memandu kerana tahap kesihatan. Dan kemampuan setiap individu adalah berbeza. Dan ramai dalam kalangan mereka masih mampu memandu dengan selamat serta bertanggungjawab.

Pada masa ini pemeriksaan kesihatan menggunakan borang JPJL8 dan JPJL8A adalah diwajibkan bagi setiap pemohon baharu dan pembaharuan lesen vokasional sahaja iaitu kenderaan barangan dan kenderaan perkhidmatan awam tanpa mengambil kira faktor usia pemohon. Itu saja, terima kasih.

draft • 11:50 AM

Timbalan Yang di-Pertua - Dato' Dr. Ramli bin Dato' Mohd Nor

Silakan Yang Berhormat Merbok soalan tambahan.

draft • 12:00 PM

Tuan Mohd Nazri bin Abu Hassan - Merbok

Terima kasih Timbalan Menteri. Soalan tambahan saya sekiranya data menunjukkan hanya sebahagian kecil kemalangan maut melibatkan pemandu berusia 70 tahun ke atas berpunca daripada faktor usia, apakah justifikasi kerajaan untuk mempertimbangkan syarat pemeriksaan kesihatan mandatori berdasarkan umur dan bukannya melaksanakan penilaian berdasar tahap kesihatan serta keupayaan individu.

Dan, berdasarkan statistik dan analisis kementerian, kategori manakah yang menyumbang kepada kadar kemalangan maut yang lebih tinggi? Dan apakah justifikasi kerajaan sekiranya tumpuan dasar lebih diberikan kepada pemandu warga emas berbanding usaha untuk memperkukuhkan penguatkuasaan terhadap pemanduan di bawah pengaruh alkohol, sekian.

draft • 12:00 PM

Timbalan Yang di-Pertua - Dato' Dr. Ramli bin Dato' Mohd Nor

Silakan Menteri.

draft • 12:00 PM

Datuk Haji Hasbi bin Haji Habibollah

Terima kasih YB Merbok.

Sebenarnya yang— daripada data yang ada iaitu saya sertakan datalah ya. Pecahan pemanduan yang menyebabkan kes kemalangan mengikut umur pada tahun 2025.

16 hingga 20 tahun – 6,157. 21 hingga 25 – 5,978. Antara 26 tahun hingga 30 – 4,716, 31 hingga 35 – 3,640 dan 46 hingga 50 – 2,026 ini mengikut data. Begitu juga pada tahun 2024, lebih kurang sama.

Jadi di sini, umur 70 tahun ke atas itu memang tidak ada, hanya memberikan sedikit sahaja itu pun sebagaimana jawapan asal tadi, bukan semestinya mereka yang memandu, mungkin mereka jadi passenger dan sebagainya. Itu yang di mana orang tua itu menjadi statistik kemalangan.

Jadi, berkaitan dengan yang lain, memanglah seperti kenderaan berat, mabuk dan sebagainya itulah yang banyak memberi–– dan pemanduan yang cuai, itu yang banyak memberi, menaikkan data statistik kemalangan di jalan raya di negara kita. Untuk figure dia, saya boleh bagi secara bertulis. Terima kasih.

draft • 12:00 PM

Timbalan Yang di-Pertua - Dato' Dr. Ramli bin Dato' Mohd Nor

Sebelah kerajaan? Di sebelah kerajaan ada soalan? Jika tidak ada, saya bagi ruang kepada sebelah yang kiri, silakan Yang Berhormat Kuala Krau.

draft • 12:00 PM

Tuan Haji Kamal bin Ashaari - Kuala Krau

Sebagaimana yang di–– Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Sebagaimana yang disebut tadi tentang pemeriksaan kesihatan, apakah kerajaan bercadang untuk memperkuatkan syarat kepada pemandu-pemandu kenderaan awam dari sudut pemeriksaan kesihatan. Ini kerana, kebelakangan kita lihat apabila berlaku kemalangan maut, barulah kita tahu ini ada positif dadahlah, ketum dan sebagainya. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.

draft • 12:00 PM

Timbalan Yang di-Pertua - Dato' Dr. Ramli bin Dato' Mohd Nor

Silakan Yang Berhormat Menteri untuk menjawab soalan Kuala Krau.

draft • 12:00 PM

Datuk Haji Hasbi bin Haji Habibollah

Terima kasih Yang Berhormat Kuala Krau. Jadi, berkaitan dengan mengetatkan undang-undang lagi, sebagaimana itu–– pada minggu lepas, kita telah pun meluluskan di Dewan Rakyat ini pindaan akta. Di mana dalam itu memang pelbagai perkara juga untuk mengetatkan lagi, memastikan pemandu-pemandu kita ini adalah pada tahap yang kata orang very competent-lah.

Jadi, tentang–– tadi saya menyatakan bahawa untuk pemanduan awam dan juga kenderaan commercial vehicle memang diwajibkan untuk kesihatan ini, memang diwajibkan dari dulu sampai sekarang, tidak ada perbezaan. Yang hanya ada seperti mabuk dan sebagainya tak kiralah. Yang itu sama ada pemanduan commercial vehicle ataupun pemanduan sendiri.

Kita telah pun meminda undang-undang pada tahun 2020, hari itu iaitu di mana tahap hukuman adalah berat diberikan kepada pemandu mabuk, contohnya.

Dan ini juga melihat dari segi kesihatan GDL, untuk commercial vehicle, untuk barangan public transport ini memang–– yang sebenarnya pada masa ini ketetapan itu adalah ketat yang sebenarnya, kesihatan. Dan biasanya yang kita–– penguatkuasaan kitalah yang memang kita perketatkan untuk memastikan kita dapat menangkap mereka inilah untuk dalam pemanduan ini.

Actually, yang ada sekarang ini memang ketatlah, memang ketat daripada segi pemeriksaannya. Terima kasih.

draft • 12:00 PM

Timbalan Yang di-Pertua - Dato' Dr. Ramli bin Dato' Mohd Nor

Majlis ke soalan yang ke 10. Dipersilakan Puan Vivian Wong Shir Yee, Yang Berhormat Sandakan.

draft • 12:00 PM

Puan Vivian Wong Shir Yee - Sandakan

Terima kasih Dato’ Speaker, soalan Sandakan nombor 10.

draft • 12:00 PM

10. Puan Vivian Wong Shir Yee [Sandakan] minta Menteri Dalam Negeri menyatakan, langkah-langkah yang diambil untuk mempercepat dan menambah baik proses permohonan kewarganegaraan serta pendaftaran kelahiran lewat, termasuk usaha mengurangkan tempoh menunggu dan meningkatkan ketelusan maklum balas kepada pemohon serta menyatakan jumlah permohonan yang tertunggak dan diluluskan di Sabah bagi tahun 2025 dan 2026.

draft • 12:00 PM

Timbalan Yang di-Pertua - Dato' Dr. Ramli bin Dato' Mohd Nor

Dipersilakan Menteri Dalam Negeri untuk menjawab.

draft • 12:00 PM

Timbalan Menteri Dalam Negeri - Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar bin Haji Nasarah

Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Dr.

Yang Berhormat Sandakan, KDN melalui JPN kita komited untuk percepat dan menambah baik proses permohonan kewarganegaraan serta pendaftaran kelahiran lewat termasuk pengurangan tempoh menunggu dan meningkatkan ketulusan penyampaian maklumat pada pemohon.

Bagi tujuan tersebut, beberapa langkah telah dan sedang di laksana.

Antaranya, ialah menambah baik prosedur operasi standard (SOP), pelarasan dan semakan berkala terhadap SOP di laksana. ini bagi memperkemas proses semakan dokumen, siasatan serta mengurangkan tempoh proses permohonan yang lengkap tanpa menjejaskan pematuhan kepada peraturan dan undang-undang yang berkuat kuasa.

Antaranya, kementerian telah menambah baik SOP bagi permohonan kewarganegaraan di bawah Perkara 15A, Perkara 15(2) dan Perkara 19(1) Perlembagaan Persekutuan dengan menetapkan tempoh pemprosesan selama satu tahun bermula daripada tarikh menerima dokumen lengkap sehingga keputusan dimuktamadkan. Langkah ini Yang Berhormat, untuk mempercepatkan penyelesaian permohonan dan mengurangkan tempoh menunggu.

Selain itu, bagi pendaftaran lewat kelahiran, pemohon boleh diterima di semua pejabat JPN di seluruh negara dan juga melalui program MEKAR yang kita lakukan. Selain itu, kuasa membuat keputusan bagi permohonan daftar kelahiran lewat turut diturunkan kepada JPN negeri bagi mempercepatkan proses pertimbangan dan penyelesaian kes.

Kita juga memperluaskan program MEKAR ini, terutama sekali di kawasan- kawasan luar bandar dan kawasan yang sukar di mana rakyat untuk datang ke pejabat JPN. Dan kita perkukuhkan kerjasama strategik, kerjasama antara JPN, kerajaan negeri, pimpinan komuniti, hospital, sekolah, agensi kebajikan dan pertubuhan bukan kerajaan terus dipertingkat bagi mengenal pasti individu yang masih belum memiliki dokumen pengenalan diri serta membantu mereka melengkapkan dokumen sokongan yang diperlukan.

Sesi libat urus bersama dengan agensi-agensi berkaitan turut di laksanakan bagi memudahkan urusan permohonan dan seterusnya mempercepatkan proses berkaitan.

Selain daripada itu Yang Berhormat, kita turut memperluaskan penggunaan sistem semakan status permohonan kewarganegaraan melalui sistem MyJanjiTemu dan khidmat di talian JPN bagi meningkatkan kecekapan penyampaian kita di semua peringkat.

Bagi menjawab pertanyaan mengenai jumlah permohonan kewarganegaraan yang tertunggak dan diluluskan di Sabah Yang Berhormat. Rekod JPN ini menunjukkan bahawa tempoh 2025 hingga 31 Mei 2026, sebanyak 10 pemohon kewarganegaraan telah diluluskan. Manakala 3,640 permohonan masih dalam proses pertimbangan. Manakala, bagi pendaftaran kelahiran lewat di negeri Sabah dalam tempoh yang sama sebanyak 2,659 permohonan telah diluluskan. Manakala, 611 permohonan masih dalam proses.

Untuk penjelasan Yang Berhormat, statistik lulus bagi pemohon kewarganegaraan ini merujuk kepada permohonan yang telah mendapat keputusan lulus dan sijil kewarganegaraan telah dikeluarkan dan diserahkan kepada pemohon.

Itu maksud lulus.

Oleh itu, walaupun satu permohonan Yang Berhormat telah diluluskan, di peringkat KDN tapi masih di rekod sebagai dalam proses dalam sistem JPN sekiranya sijil tersebut belum dicetak, diserah kepada pemohon ini. Jadi sehubungan itu, statistik lulus yang di rekod oleh JPN tidak semestinya menggambarkan sepenuhnya semua permohonan yang telah diberi keputusan lulus oleh KDN dalam tahun semasa.

Apa pun, bagi mempercepatkan proses pertimbangan permohonan warganegara Sabah, KDN melalui Jawatankuasa Khas Status Kewarganegaraan peringkat negeri dijangka akan mengadakan mesyuarat pada hujung Julai ini atau awal Ogos dengan sebanyak 1,018 permohonan di jadual untuk dibawa bagi tujuan pertimbangan, terima kasih Yang Berhormat.

draft • 12:00 PM

Timbalan Yang di-Pertua - Dato' Dr. Ramli bin Dato' Mohd Nor

Yang Berhormat Sandakan, soalan tambahan.

draft • 12:00 PM

Puan Vivian Wong Shir Yee - Sandakan

Terima kasih atas jawapan daripada Timbalan Menteri. Saya ingin tanya Kerajaan Negeri Sarawak telah berjaya menyelesaikan banyak kes Perkara 15A melalui JKKS mereka dan Kerajaan Negeri Sabah juga bersetuju untuk menggunakan struktur yang sama.

Jadi, tadi juga Timbalan Menteri ada kongsikan akan adakan meeting. Jadi, apakah status pelancaran JKKS di Sabah untuk–– dan berapa kes di Daerah Sandakan telah diluluskan dan telah ditolak melalui JKKS ini. Dan juga mohon kementerian untuk kongsi purata permohonan Perkara 15A dan Perkara 19 yang masih tertunggak yang belum diluluskan buat masa ini khususnya di JPN Sandakan.

draft • 12:00 PM

Puan Vivian Wong Shir Yee - Sandakan

Tadi Timbalan Menteri telah kongsikan untuk tahun 2025 dan 2026 tapi saya mohon data yang belum diluluskan setakat ini yang masih tertunggaklah di JPN Sandakan.

draft • 12:10 PM

Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor

Silakan Menteri.

draft • 12:10 PM

Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar bin Haji Nasarah

Yang Berhormat Dato’ Dr.

Speaker, oleh kerana soalan itu agak spesifik melibatkan angka, saya bagi jawapan secara bertulis.

Namun saya sebutkan tadi, usul-usul untuk mempercepatkan proses pertimbangan permohonan warganegara Sabah, kita urus melalui Jawatankuasa Khas Status Kewarganegaraan yang disebutkan tadi di peringkat Negeri Sabah. Dan penghujung Julai atau awal Ogos ini akan ada mesyuarat dan sebanyak 1,018 permohonan dijadual untuk dibawa untuk tujuan pertimbangan. Saya tak pasti apakah daripada Sandakan juga ada dalam permohonan ini. Apa-apa pun saya akan bagi secara bertulis Yang Berhormat.

draft • 12:10 PM

Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor

Baik.

Silakan Yang Berhormat Kuala Krau. Maaf.

draft • 12:10 PM

Dr. Haji Abd Ghani bin Ahmad - Jerlun

Jerlun, Jerlun.

draft • 12:10 PM

Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor

Jerlun.

draft • 12:10 PM

Dr. Haji Abd Ghani bin Ahmad - Jerlun

Yang Berhormat Tuan Yang di- Pertua, Yang Berhormat Menteri. Berkaitan pendaftaran lewat kewarganegaraan, saya merujuk satu penyataan akhbar Kosmo bertarikh 21 Mei 2026 melaporkan seorang ibu warga tempatan berasal dari Kelantan, Siti Zubaidah umur 50-an terputus hubungan dengan dua orang anaknya selama 20 tahun yang dibawa lari ke Jambi, Indonesia oleh bekas suaminya sejak 2004 lalu.

Beliau merayu agar dua orang anaknya diberikan peluang mendapatkan kad pengenalan Malaysia selepas permohonan daftar lewat ditolak oleh Jabatan Pendaftaran Negara. Beliau sudah memenuhi pelbagai permintaan dokumen oleh JPN termasuk menjalani ujian DNA bagi mengesahkan hubungan ibu dan anak.

Soalan tambahan saya di sini ialah adakah kerajaan bercadang mempermudahkan prosedur atau mengurangkan kerenah birokrasi khususnya bagi pasangan yang telah mengemukakan dokumen yang lengkap dan sah? Adakah kementerian akan mempertimbangkan mekanisme khas atau laluan segera (fast track) kepada kes-kes yang melibatkan keperluan mendesak seperti akses kepada pendidikan kesihatan dan kebajikan?

Dan akhirnya, apakah usaha kerajaan untuk menyelaras proses antara agensi berkaitan supaya pemohon tidak perlu berulang alik untuk mengemukakan dokumen yang sama kepada JPN? Sekian, terima kasih.

draft • 12:10 PM

Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor

Silakan Yang Berhormat Menteri.

draft • 12:10 PM

Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar bin Haji Nasarah

Yang Berhormat Dato’ Dr., kes yang dimaklumkan tadi adalah spesifik. Saya tak tahu apa puncanya, tapi boleh saya kongsi bahawa untuk makluman, kes pendaftaran lewat kelahiran ini yang berlaku dan dikenal pasti oleh JPN dia disebabkan oleh banyak faktor.

Antara faktor tersebut ialah ada juga sikap dan tahap kesedaran ibu bapa atau penjaga yang masih kurang memberi keutamaan terhadap kepentingan mendaftar kelahiran bayi. Ini juga berlaku dalam tempoh yang ditetapkan Yang Berhormat. Kita ada tempoh.

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, tempoh pendaftaran yang ditetapkan ialah antara 60 hari bagi kelahiran di Semenanjung. Kita ada tempoh Yang Berhormat. Manakala 42 hari bagi kelahiran di Sabah dan Sarawak. Jika mereka melepasi tempoh ini itu yang menyebabkan pendaftaran lewat berlaku. Ini diselaraskan kalau di Semenanjung di bawah Akta Pendaftaran Kelahiran Kematian 1997 di Semenanjung. Kalau di Sabah pun kita ada akta yang berkaitan dengannya.

Ada juga kes-kes di mana ibu bapa berhadapan dengan masalah kekeluargaan. Ini kes rumah tangga menyebabkan urusan pendaftaran tak dapat dilaksanakan dengan segera. Ini juga berlaku. Ada juga faktor-faktor yang melibatkan kewangan dan JPN juga turut mendapati bahawa sebahagian pemohon tidak dapat diproses dalam tempoh ditetapkan disebabkan oleh dokumen sokongan yang dikemukakan mungkin tidak lengkap. Yang Berhormat sebut berkaitan dengan DNA itu. DNA dia bukan adalah bukti yang membolehkan dia automatik dapat warganegara misalnya. DNA itulah maklumat sokongan.

Apa pun Yang Berhormat, KDN melalui JPN kita menetapkan SOP baru yang memang memberi impak positif yang signifikan dalam proses permohonan kewarganegaraan ini termasuk isu-isu berkaitan dengan pendaftaran lewat tadi. Dan memang kita ada garis panduan dan sebagainya malah kita dah permudahkan, kita menurunkan kuasa proses-proses boleh dibuat di semua peringkat pejabat kita.

Saya harap Yang Berhormat kemukakan secara detil kes yang dimaksudkan tadi.

Terima kasih.

draft • 12:10 PM

Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor

Baik.

Maka dengan soalan tersebut tadi, Yang Berhormat sekarang tamatlah sesi untuk Waktu Pertanyaan-pertanyaan bagi Jawab lisan.

[Sesi Pertanyaan-pertanyaan bagi Jawab Lisan tamat]

draft • 12:10 PM
USUL
WAKTU MESYUARAT DAN URUSAN DIBEBASKAN DARIPADA PERATURAN MESYUARAT

Timbalan Menteri Kewangan - Tuan Liew Chin Tong

Dato’ Yang di-Pertua, “Mengikut Peraturan Mesyuarat 12(1), saya mohon mencadangkan bahawa Mesyuarat pada hari ini tidak akan ditangguhkan pada jam 1 tengah hari dan akan bersidang secara terus sehingga selesai dibahas dan diputuskan Rang Undang-undang Kumpulan Wang Amanah Negara 2026 dan Rang Undang-undang Statistik 2026 seperti di (No.1) dan (No.2) dalam Aturan Urusan Mesyuarat dan Usul-usul hari ini.

Selepas itu, Majlis Mesyuarat akan ditangguhkan sehingga suatu tarikh yang tidak ditetapkan.” Terima kasih.

draft • 12:15 PM

Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor

Ada Yang Berhormat menyokong?

draft • 12:15 PM

Timbalan Menteri Ekonomi - Dato’ Indera Mohd Shahar bin Abdullah

Dato’ Dr. Yang di-Pertua, saya mohon menyokong.

draft • 12:15 PM

Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor

Baik. Ahli- ahli Yang Berhormat, sekarang saya kemukakan masalah kepada Majlis untuk diputuskan. Masalahnya ialah usul seperti yang dibentang oleh Menteri tadi hendaklah disetujukan.

draft • 12:15 PM

[Usul dikemukakan bagi diputuskan; dan disetujukan]

RANG UNDANG-UNDANG
RANG UNDANG-UNDANG KUMPULAN WANG AMANAH NEGARA 2026 Bacaan Kali Yang Kedua dan Ketiga

Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor

Dipersilakan Yang Berhormat Menteri untuk mengemukakan rang undang-undang tersebut.

draft • 12:15 PM

Timbalan Menteri Kewangan - Tuan Liew Chin Tong

Dato’ Yang di-Pertua.

Saya mohon mencadangkan satu Rang Undang-undang untuk Akta Kumpulan Wang Amanah Negara 2026 dibacakan untuk kali kedua sekarang.

Dato’ Yang di-Pertua, Malaysia telah menikmati hasil daripada kekayaan dan sumber asli negara sejak sekian lama. Hasil ini telah menyokong pembangunan ekonomi, kesejahteraan rakyat serta kemajuan negara. Namun, sebahagian daripada sumber yang kita nikmati hari ini merupakan sumber menyusut yang tidak akan kekal selama-lamanya. Sebahagian daripada hasil yang dijana daripada sumber menyusut ini wajar dipelihara dan dilaburkan supaya manfaatnya dapat terus dinikmati oleh generasi yang akan datang.

Berteraskan prinsip keadilan antara generasi atau intergenerational justice, inilah Kumpulan Wang Amanah Negara ditubuhkan pada tahun 1988 sebagai suatu simpanan dan rizab jangka panjang negara bagi memastikan negara mempunyai rizab kewangan yang berkekalan untuk generasi Malaysia sekarang dan masa hadapan. Setelah hampir 40 tahun, aset bersih Kumpulan KWAN telah berkembang kepada RM22.43 bilion pada tahun 2024. Sejak penubuhannya, PETRONAS kekal sebagai satu-satunya penyumbang kepada KWAN dengan jumlah sumbangan sebanyak RM13.5 bilion.

Sepanjang tempoh tersebut, KWAN hanya digunakan sebanyak dua kali termasuk bagi membiayai pembelian vaksin COVID-19 iaitu RM5 bilion pada tahun 2021 hingga 2023 dan Projek Malaysia Wetland Sanctuary pada tahun 1998 yang bernilai RM42 juta. Rekod ini mencerminkan hasrat asal penubuhan KWAN sebagai satu simpanan jangka panjang negara yang hanya digunakan apabila benar-benar diperlukan.

Dato’ Yang di-Pertua, pengalaman mentadbir KWAN menunjukkan bahawa walaupun akta sedia ada telah membolehkan kumpulan wang berfungsi dengan baik, hasrat asal tersebut perlu diperkukuh melalui suatu kerangka perundangan yang lebih menyeluruh agar simpanan antara generasi ini terus mampan. Sehubungan itu, kerajaan mencadangkan supaya Akta Kumpulan Wang Amanah Negara 1988 iaitu [Akta 339] dimansuhkan dan digantikan dengan suatu akta baru.

draft • 12:17 PM

Timbalan Menteri Kewangan - Tuan Liew Chin Tong

Langkah ini bukan sekadar mengemas kini kerangka perundangan sedia ada, malah memperkukuh institusi KWAN melalui penubuhan Kumpulan Wang Amanah Negara (Diperbadankan) sebagai badan pentadbir Kumpulan Wang. Struktur tadbir urus ini dibangunkan dengan mengambil kira amalan terbaik tadbir urus institusi pelaburan awam termasuk Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) iaitu KWAP.

Selaras dengan struktur baru ini, rang undang-undang ini memperkenalkan pembaharuan KWAN dalam tiga aspek utama iaitu— Pertama, meletakkan sumbangan kepada Kumpulan Wang pada suatu asas perundangan berkanun yang luas dan mandatori, menggantikan pembayaran secara sukarela. RUU ini mengehendaki Kerajaan Persekutuan membuat sumbangan tahunan sekurang-kurangnya 0.1 peratus daripada anggaran hasil tahunannya.

Memperuntukkan sekurang-kurangnya dua peratus daripada dividen yang diterima daripada PETRONAS dan dua peratus daripada duti eksport ke atas sumber menyusut selepas serahan kepada kerajaan negeri. Bermakna, tidak ada gangguan terhadap apa yang diperoleh oleh kerajaan negeri dan bakinya dua peratus daripada duti import akan disumbangkan ke dalam KWAN.

Kedua, memelihara modul Kumpulan Wang dengan mengehadkan pengeluaran tahunan kepada separuh daripada jangkaan kadar pulangan sebenar.

Pengeluaran yang melebihi had ini hendaklah mendapat kelulusan Dewan Rakyat.

Tujuan penggunaannya juga dihadkan kepada pendidikan, penjagaan kesihatan serta mitigasi dan penyesuaian perubahan iklim yang turut dikawal secara peraturan.

Ketiga, menubuhkan Lembaga Kumpulan Wang Amanah Negara

(Diperbadankan) dengan kewajipan dan kuasa yang jelas serta mengukuhkan fungsinya berkenaan dengan pelaburan kumpulan wang.

Kerajaan juga mengambil pendekatan yang pragmatik dalam melaksanakan struktur baru ini walaupun Kumpulan Wang Amanah Negara (Diperbadankan) ditubuhkan di bawah akta ini, Bank Negara Malaysia akan terus melaksanakan fungsi pentadbiran dan pengurusan Kumpulan Wang bagi suatu tempoh yang ditentukan oleh Menteri atas syor lembaga.

Pendekatan peralihan secara berperingkat ini akan memastikan kesinambungan operasi serta membolehkan fungsi-fungsi tersebut dipindahkan secara tersusun apabila saiz dan keperluan pengurusan Kumpulan Wang berkembang pada masa hadapan.

Pembaharuan ini akan memperkukuhkan kedudukan KWAN sebagai simpanan antara generasi melalui tatakelola yang lebih kukuh, sumber aliran masuk yang lebih konsisten serta disiplin pengeluaran yang lebih ketat. Dengan asas tersebut, Kumpulan Wang dijangka mampu meningkatkan aset bersihnya sebanyak dua kali ganda dalam tempoh sekitar 10 tahun sekali gus memastikan lebih banyak kekayaan daripada sumber menyusut yang dinikmati pada hari ini dapat dipelihara sebagai rizab kewangan yang berkekalan bagi generasi Malaysia sekarang dan masa hadapan.

Dato' Yang di-Pertua, rang undang-undang ini mengandungi enam bahagian dan 44 fasal seperti berikut.

Bahagian I mempunyai dua fasal dan memperuntukkan perkara-perkara permulaan termasuk tajuk ringkas permulaan kuat kuasa akta serta tafsiran bagi ungkapan yang digunakan dalam akta.

Bahagian II mempunyai 21 fasal yang memperuntukkan mengenai penubuhan Kumpulan Wang dan Kumpulan Wang Amanah Negara (Diperbadankan) termasuk sumber sumbangan, tadbir urus, fungsi dan kuasa lembaga serta pentadbiran kumpulan wang.

Bahagian III mempunyai tiga fasal dan memperuntukkan mengenai penggunaan Kumpulan Wang termasuk tujuan penggunaan, had pengeluaran, tatacara permohonan serta pelaporan penggunaan dana.

Bahagian IV mempunyai tiga fasal dan memperuntukkan mengenai pelaburan Kumpulan Wang termasuk jenis pelaburan yang dibenarkan, peruntukan aset strategik (strategic asset allocation) serta pelantikan pengurus dana.

Bahagian V mempunyai enam fasal dan memperuntukkan perkara-perkara pelbagai termasuk tatacara kewangan, pelaporan, kuasa Menteri membuat peraturan dan arahan serta obligasi kerahsiaan.

Bahagian VI mempunyai sembilan fasal dan memperuntukkan mengenai pemansuhan Akta Kumpulan Wang Amanah Negara 1988 [Akta 339] serta peruntukan peralihan bagi memastikan kesinambungan pentadbiran aset, hak, liabiliti, kontrak dan prosiding di bawah akta baru.

Dato' Yang di-Pertua, saya mohon mencadangkan.

draft • 12:20 PM

Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor

Ada sesiapa Yang Berhormat menyokong?

draft • 12:20 PM

Timbalan Menteri Digital - Datuk Wilson Ugak anak Kumbong

Saya mohon menyokong.

draft • 12:20 PM

Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor

Ahli-ahli Yang Berhormat, masalah di hadapan Majlis ialah rang undang-undang bernama suatu akta bagi menubuhkan Kumpulan Wang Amanah Negara, untuk memperbadankan Kumpulan Wang Amanah Negara (Diperbadankan) sebagai badan pentadbir Kumpulan Wang Amanah Negara, untuk mengadakan peruntukan bagi pelaburan Kumpulan Wang Amanah Negara, untuk memastikan rizab kewangan yang berkekalan bagi generasi Malaysia sekarang dan masa hadapan dan untuk mengadakan peruntukan bagi perkara yang berkaitan dibacakan kali yang kedua sekarang dan terbuka untuk di bahas.

Yang Berhormat-Yang Berhormat, senarai yang ada pada saya, sejumlah 15 orang Yang Berhormat akan berbahas. Mereka adalah Yang Berhormat Kampar, Yang Berhormat Pendang, Yang Berhormat Sik, Yang Berhormat Putatan, Yang Berhormat Padang Besar, Yang Berhormat Maran, Yang Berhormat Batu Gajah, Yang Berhormat Rantau Panjang, Yang Berhormat Tanjung Karang, Yang Berhormat Sipitang, Yang Berhormat Sabak Bernam, Yang Berhormat Arau, Yang Berhormat Kluang, Yang Berhormat Putrajaya, Yang Berhormat Simpang Renggam.

Yang Berhormat-Yang Berhormat, memandangkan akta ini ialah akta baru, maka tergolonglah ia di bawah Peraturan 38(1), ia di Peringkat Dasar. Walau bagaimanapun, sebagaimana sedia maklum, apa kerangka-kerangka sekalipun, ikutilah Peraturan 36 ya. Isi-isi dan cara-cara untuk berbahas. Dengan ini, saya buka perbahasan dengan mempersilakan Yang Berhormat Kampar.

draft • 12:20 PM

Tuan Chong Zhemin - Kampar

Terima kasih Dato’ Timbalan Yang di- Pertua. Saya bangun untuk menyokong RUU KWAN 2026. Pembaharuan ini sudah terlalu lama tertangguh, it’s long overdue. KWAN ditubuhkan pada tahun 1988 untuk menukar hasil sumber asli yang menyusut kepada simpanan bagi generasi akan datang. Namun selama hampir 38 tahun, sumbangannya masih bergantung terutama kepada pembayaran sukarela PETRONAS. Dana antara generasi memerlukan caruman mandatori, pelaburan profesional dan peraturan pengeluaran yang jelas.

Fasal 4 membetulkan kelemahan ini dengan mewajibkan Kerajaan Persekutuan menyumbang sekurang-kurang 0.1 peratus daripada unjuran hasil tahunan, dua peratus daripada dividen PETRONAS dan dua peratus daripada duti eksport atas sumber menyusut. Menggunakan angka tahun 2025, dua komponen pertama menyumbang kira-kira RM334 juta dan RM640 juta. Jumlahnya RM974 juta sebelum duti eksport berkaitan. Maka, caruman tahunan boleh menghampiri RM1 bilion setiap tahun, walaupun jumlah sebenar berubah setiap tahun. Ini mewujudkan kewajipan undang-undang untuk menyimpan setiap tahun.

Saya juga menyokong fasal 25 yang mengehadkan pengeluaran biasa kepada 50 peratus daripada pulangan sebenar jangka masa panjang (long-term real return).

draft • 12:28 PM

Tuan Chong Zhemin - Kampar

Dalam contoh RUU, pulangan nominal enam peratus selepas ditolak inflasi tiga peratus memberikan pulangan benar tiga peratus dan had pengeluarannya hanya 1.5 peratus daripada aset tahunan. Had ini konservatif. Ia tidak menghabiskan keseluruhan pulangan benar. Separuh boleh digunakan untuk pendidikan, kesihatan dan tindakan iklim, manakala separuh lagi akan terus dikompaun.

Had yang tidak digunakan juga tidak boleh dibawa ke tahun berikutnya.

Namun, kita juga perlu lihat kepada prestasi sebenar KWAN. Pulangannya ialah 2.1 peratus pada 2021, -0.2 peratus pada 2022, 9.7 peratus 2023 dan 5.5 peratus pada tahun 2024. Purata aritmetik empat tahun adalah kira-kira 4.3 peratus.

Ini menunjukkan pulangan KWAN secara purata masih sekitar empat hingga lima peratus, iaitu di bawah andaian enam peratus RUU ini. Oleh sebab KWAN mempunyai ufuk pelaburan antara generasi, saya cadangkan lembaga di bawah fasal 27, mengkaji semula perumpukan aset strategik dan meningkatkan pendedahan kepada ekuiti secara berperingkat, terpelbagai serta merangkumi pasaran tempatan dan antarabangsa.

Matlamatnya ialah mencapai purata pulangan nominal sekitar enam peratus dalam satu kitaran jangka panjang. Ini bukan jaminan pulangan enam peratus, tetapi satu peningkatan ekuiti mesti mempunyai had risiko penanda aras dan pelaporan prestasi yang telus.

Mari kita buat satu pengiraan kasar. Bermula dengan aset tahun lepas, RM22.43 bilion. Setiap tahun, kita carum RM1 bilion dengan pulangan nominal enam peratus. KWAN boleh mencapai kira-kira RM208 bilion selepas 30 tahun, jika tidak ada apa-apa pengeluaran. Jika had 1.5 peratus digunakan sepenuhnya setiap tahun, kira-kira 4.5 peratus masih dikompaun.

Maka, KWAN masih boleh mencapai RM145 bilion ataupun kira-kira RM60 bilion pada wang hari ini selepas mengambil kira kadar inflasi. Namun, subfasal 25(2) dan 25(3) membolehkan Menteri memohon kelulusan Dewan untuk melebihi had biasa tanpa menetapkan ambang undi khas. Secara praktik, majoriti mudah boleh meluluskan pengeluaran luar biasa.

Kerajaan hari ini mungkin berdisiplin, tetapi undang-undang ini ditulis, bukan hanya untuk kerajaan hari ini, tetapi untuk kerajaan masa akan datang. Pengeluaran melebihi had sepatutnya menjadi satu pintu kecemasan, bukan satu saluran belanjawan kedua. Oleh itu, saya cadangkan subfasal 25(3) diperkukuh supaya pengeluaran melebihi had hanya boleh diluluskan dengan sokongan paling kurang dua per tiga daripada jumlah keseluruhan Ahli Dewan Rakyat.

Dengan 222 Kerusi, ini bermakna sekurang-kurangnya 148 ahli. Setiap usul juga wajar menyatakan jumlah, tujuan, alasan mendesak, kesan 20 tahun dan pelan pemulihan dana. Dalam darurat nasional, kerajaan sepatutnya mampu mendapat persetujuan rentas parti. Tanpa sokongan dua per tiga, simpanan generasi akan datang tidak patut disentuh melebihi had biasa.

Saya juga meminta pihak Menteri dan Jabatan Peguam Negara memastikan mekanisme dua per tiga ini benar-benar kukuh dari segi Perlembagaan. Jika pindaan kepada akta biasa tidak mencukupi untuk mengikat kerajaan masa hadapan, kerajaan perlu mempertimbangkan mekanisme perundangan atau pindaan Perlembagaan yang bersesuaian.

Kesimpulannya, RUU ini mewajibkan caruman, memelihara nilai dana dan mengukuhkan pelaburan. Dengan sasaran pulangan yang lebih baik serta perlindungan dua per tiga bagi pengeluaran luar biasa, KWAN boleh jadi amanah negara yang tahan merentasi kerajaan dan generasi. Dengan ini, saya menyokong sepenuhnya Rang Udang-undang KWAN 2026. Sekian, terima kasih.

draft • 12:30 PM

Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor

Terima kasih Yang Berhormat. Perbahasan yang baik. Dipersilakan, Yang Berhormat Pendang.

draft • 12:30 PM

Datuk Haji Awang bin Hashim - Pendang

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih Dato' Yang di-Pertua kerana memberi peluang kepada saya untuk membahaskan Rang Undang-undang Kumpulan Wang Amanah Negara 2026 ini. Di mana Rang Undang-undang Kumpulan Wang Amanah Negara 2026, pada dasarnya Pendang menyokong kerana ia merupakan satu pembaharuan yang penting dalam memperkukuhkan kedudukan fizikal negara serta memastikan sebahagian daripada kekayaan negara hari ini dapat dipelihara demi manfaat generasi akan datang.

Tujuan kita menubuhkan Kumpulan Wang Amanah Negara ini, Dato' Yang di- Pertua, kerana yang pertamanya, untuk mengukuhkan kedudukan fiskal negara.

Yang keduanya, kita terus mengarahkan PETRONAS yang menjadi penyumbang besar kepada KWAN ini. Nama Kumpulan Wang Amanah Negara tapi kebergantungan kita kepada PETRONAS ini lebih daripada 90 peratus. Jadi saya harap, pihak kerajaan boleh lebarkan lagi inisiatif yang ditetapkan seperti menetapkan caruman wajib yang merangkumi sekurang-kurangnya 0.1 peratus daripada hasil tahunan kerajaan, dua peratus daripada dividen PETRONAS dan dua peratus daripada duti eksport sumber asli yang semakin berkurangan ini. Yang itu yang kita tetapkan sekarang.

Jadi, kita buka lagi kepada badan-badan berkanun yang lain supaya mereka menyumbang untuk kita jadi keadaan yang kita tak jangka sekarang sepertimana COVID-19 dahulu yang mana KWAN ini berperanan besar membantu negara pada ketika itu. Oleh sebab itu, saya menyambut baik pembaharuan yang diperkenalkan ini iaitu dengan penetapan sumbangan minimum berkanun, pengenaan had pengeluaran, penambahbaikan tadbir urus serta peluasan sumber caruman yang tidak lagi bergantung hampir sepenuhnya kepada PETRONAS.

Namun begitu, terdapat beberapa persoalan yang memerlukan penjelasan dan penambahbaikan. Pertama, saya ingin menyentuh mengenai hala tuju jangka panjang KWAN. RUU ini menetapkan kadar caruman minimum tetapi tidak menetapkan apakah sasaran sebenar yang ingin dicapai oleh kerajaan. Berapakah nilai aset yang disasarkan dalam tempoh 10 tahun, 20 tahun atau menjelang 2050?

Sepertimana yang dibangkitkan oleh Kapar tadi telah buat satu unjuran jangka masa panjang. Apakah, ke mana kita nak dapat? Kita mesti menjangkakan daripada hasil pelaburan yang kita buat sekiranya berlaku perkara-perkara yang tidak dijangkakan.

Dato' Yang di-Pertua, negara-negara yang mempunyai sovereign wealth fund lazimnya mempunyai sasaran pertumbuhan aset dan strategi pelaburan yang jelas.

Tanpa sasaran yang boleh diukur, bagaimana Parlimen hendak menilai sama ada KWAN benar-benar berkembang sebagaimana yang dihasratkan?

Kedua, kadar caruman. Mengenai cadar caruman. Dato' Yang di-Pertua, rang udang-undang ini menetapkan kadar minimum sebanyak 0.1 peratus. Hasil Persekutuan serta dua peratus daripada dividen PETRONAS dan duti eksport sumber susu. Persoalannya, adakah kerajaan bercadang mengekalkan kadar ini untuk selama-lamanya? Atau adakah terdapat mekanisme semakan berkala berdasarkan prestasi ekonomi negara?

Saya berpandangan, kadar tersebut wajar disemak mengikut berkala supaya KWAN terus berkembang selari dengan pertumbuhan ekonomi negara. Kadang- kadang ada satu ketika sampai 15 peratus perkembangan ekonomi negara ketika COVID-19— 8.1, sorry. Minta maaf. Sehingga lapan peratus yang unjuran kita sekarang, antara 4.5 sehingga 5.7 something like that-lah. More or less. Jadi kita harap, kerajaan membuat satu unjuran yang sekiranya kita mencapai ke tahap lapan, sembilan peratus kita punya GDP, insya-Allah, dia punya pindahan untuk kita simpan sekiranya berlaku apa-apa lebih besar. Ini yang kita, kita, kita hendak.

Yang seterusnya Dato' Yang di-Pertua, saya ingin menyentuh berkenaan dengan aspek akauntabiliti kepada Parlimen. Laporan tahunan memang akan dibentangkan di Dewan ini. Namun, adakah kerajaan bersedia supaya laporan tersebut diwajibkan dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen bagi membolehkan semakan yang lebih terperinci terhadap prestasi pelaburan, pengeluaran dana serta pulangan yang dicapai? Jika PAC boleh meneliti pelbagai agensi kerajaan, mengapakah dana strategik negara yang bernilai berpuluh bilion ringgit tidak diberi tahap semakan yang sama? Saya dapati, lebih kurang RM23 bilion duit fiskal KWAN yang ada dalam— cash in hand.

Oleh sebab itu, yang keempatnya, Dato' Yang di-Pertua, saya ingin menyentuh mengenai prestasi pelaburan. Rang udang-undang ini menyebut mengenai strategic asset allocation. Penanda aras prestasi dan pengurusan risiko.

Namun, apakah penanda aras yang akan digunakan?

Apakah sasaran pulangan sebenar yang ingin dicapai setiap tahun dan sejauh manakah prestasi tersebut akan dibandingkan dengan dana kekayaan lain di negara lain di peringkat antarabangsa? Mesti kita ada comparison, Dato' Yang di- Pertua. Supaya kita boleh tahu hala tuju kita dan juga kita punya fokus target kita.

Oleh sebab itu, tanpa KPI yang jelas, sukar untuk mengukur keberkesanan pengurusan KWAN.

draft • 12:34 PM

Datuk Haji Awang bin Hashim - Pendang

Kelima, yang terakhir Tuan Yang di-Pertua, sikit saja ambil masa. Bagi saya sikit sebab saya nak gulung yang ini. Walaupun rang undang-undang ini memperkukuhkan struktur tadbir urus, Menteri masih mempunyai peranan yang besar dalam pelantikan lembaga. Kelulusan strategik, asset allocation serta pengeluaran dana.

Jadi kita tak boleh bagi sangat kuasa dekat Menteri, besar sangat. Sebab ada sampai ketika dia, keperluan dia untuk dia— ya lah kita tak mahu nak cakap benda- benda yang unhealthy practice ini. Tapi benda ini berlaku. Jadi, lebih baik kita buat undang-undang untuk nak safeguard supaya tidak berlaku perkara begitu. Itu yang kita cadangkan hari ini.

Adakah kerajaan bersedia mempertimbangkan mekanisme semak dan imbang yang lebih kukuh misalnya proses saringan atau pengesahan ahli lembaga melalui Jawatankuasa Pilihan Parlimen supaya institusi ini benar-benar bebas daripada sebarang persepsi campur tangan politik? Sebab ini duit rakyat.

Oleh sebab itu Dato’ Yang di-Pertua, Pendang menyokong hasrat kerajaan untuk membina simpanan negara bagi generasi akan datang, namun kekuatan sesuatu sovereign wealth fund bukan sekadar bergantung kepada jumlah wang yang dikumpulkan tetapi juga kepada kejelasan hala tuju, disiplin fiskal, ketelusan, tadbir urus yang bebas serta akauntabiliti yang tinggi kepada Parlimen.

Jika aspek ini terus diperkukuhkan, saya yakin Kumpulan Wang Amanah Negara ini bukan saja menjadi tabung amanah negara, malah mampu muncul sebagai institusi pelaburan strategik bertaraf dunia yang benar-benar memberi manfaat kepada generasi Malaysia pada masa hadapan. Sekian Dato’ Yang di- Pertua, saya ucap terima kasih.

draft • 12:40 PM

Timbalan Yang di-Pertua - Dato' Dr. Ramli bin Dato' Mohd Nor

Terima kasih Yang Berhormat Pendang. Satu perbahasan yang baik juga, bagus. Berikut dipersilakan Yang Berhormat Sik.

draft • 12:40 PM

Tuan Ahmad Tarmizi bin Sulaiman - Sik

Assalamualaikum warahmatullah.

Salam sejahtera. Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Tuan Yang di-Pertua. Saya juga bangun untuk pada hari ini mengambil bahagian dalam perbahasan Rang Undang-undang Kumpulan Wang Amanah Negara 2026. Secara prinsipnya, saya menyambut baik usaha kerajaan memperbaharui Akta Kumpulan Wang Amanah Negara ini yang telah berkuat kuasa sejak tahun 1988 yang lalu.

Namun, saya melihat bahawa sebuah undang-undang yang baik bukan sekadar mempunyai niat yang baik tetapi mestilah mempunyai sistem tadbir urus yang mampu bertahan walaupun kerajaan ini akan silih berganti. Hari ini kami di sebelah sini, mungkin selepas ini kami di sebelah sana. Di sebelah sana mungkin akan beralih ke sebelah sini. Jadi, itu benda yang tidak pun pelik dalam dunia ini.

Tuan Yang di-Pertua, saya juga nak mengingatkan diri saya dan tuan-tuan para Ahli Dewan dalam satu peringatan Allah SWT [Membaca sepotong ayat al- Quran] “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan segala yang amanah kepada yang berhak menerimanya”.

Dalam konteks RUU ini, amanah tersebut ialah kekayaan negara yang mesti dipelihara untuk generasi, untuk anak cucu kita pada masa akan datang. Persoalan yang perlu kita jawab ialah adakah RUU ini benar menjamin amanah itu? Tuan Yang di-Pertua, pertamanya RUU ini menetapkan caruman minimum sebanyak 0.1 peratus daripada hasil Kerajaan Persekutuan. Dua peratus pada dividen PETRONAS dan dua peratus daripada duti eksport sumber yang akan susut.

Tetapi persoalan saya, mengapa kerajaan tidak menetapkan sasaran jangka panjang saiz dana ini? Kita lihat negara Norway bukan sekadar mengumpul hasil petroleum bahkan menukarkannya kepada dana kekayaan negara yang bernilai lebih daripada USD1 trilion yang diwariskan kepada generasi mereka akan datang.

Jadi, negara kita juga Malaysia perlu mempunyai sasaran yang jelas. Bukan sekadar caruman minimum ini.

Yang kedua, Tuan Yang di-Pertua, saya menyambut baik cadangan mengehadkan pengeluaran kepada 50 peratus daripada long-term real returns dengan izin. Jadi, apakah sebenarnya definisi long-term real return ini? Ya, siapakah yang mengesahkan pengiraannya? Jika kaedah pengiraan tidak diperinci dalam akta ini, ia akan membuka ruang tafsiran yang terlalu luas kepada kerajaan semasa.

Undang-undang tidak boleh bergantung kepada niat yang baik tetapi mesti dibina atas prinsip yang jelas dan boleh diaudit.

Yang ketiga, saya masih melihat kuasa Menteri Kewangan terlalu besar sepertimana yang disebut oleh Yang Berhormat Pendang tadi. Ya, walaupun KWAN ini diperbadankan dan sebuah lembaga diwujudkan, Menteri masih mempunyai kuasa melantik ahli lembaga, meluluskan strategi pelaburan dan meluluskan pengeluaran dana. Jika dana ini adalah milik rakyat dan generasi akan datang, mengapa tidak mekanisme semak dan imbang oleh jawatankuasa di Parlimen ini sendiri, sama ada jawatankuasa khas ataupun Jawatankuasa PAC itu sendiri. Jadi Parlimen tidak sepatutnya hanya menerima laporan tahunan tapi perlu diberi kuasa menyemak prestasi pelaburan dan tadbir urus KWAN secara berkala.

Yang keempat Tuan Yang di-Pertua, dasar pelaburan KWAN yang perlu lebih telus. RUU ini menyebut mengenai dasar pelaburan penanda aras prestasi dan pengurusan risiko, namun saya mencadangkan supaya dasar tersebut turut memasukkan prinsip pelaburan patuh syariah, tadbir urus yang baik serta larangan konflik kepentingan. Dana amanah negara mesti melabur secara beretika dan selaras dengan kepentingan strategik negara. Tuan Yang di-Pertua, sejarah dunia menunjukkan bahawa dana kekayaan negara gagal bukan kerana kekurangan wang tetapi kerana kelemahan tadbir urus dan campur tangan politik.

Malaysia juga pernah— kita juga pernah melalui pengalaman pahit apabila kelemahan sistem pengawasan membawa kepada skandal kewangan yang menjejaskan keyakinan rakyat. Banyak contoh-contoh yang ada di depan kita hari ini. Skandal-skandal kewangan ini berbilion-bilion Ringgit kita hilang entah ke mana.

Projek-projek besar, projek LCS yang dibincang sekian lama di sini masih belum ada penyudahnya.

Justeru, saya menggesa kerajaan mempertimbangkan beberapa penambahbaikan penting. Yang pertama Tuan Yang di-Pertua, cadangan saya mewujudkan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen bagi memantau KWAN ini dengan begitu teliti dan dengan penuh komprehensif segala pemantauan, segala wang yang masuk dan keluar daripada kumpulan wang ini.

Yang kedua, memperincikan segala pengiraan long-term real returns dalam akta ini.

Yang ketiga, memperkukuhkan syarat pelantikan ahli lembaga dengan kawalan konflik kepentingan yang lebih ketat.

Dan yang keempat, menetapkan dasar pelaburan yang telus, profesional dan berteraskan kepentingan negara.

Tuan Yang di-Pertua, dana ini bukan milik kerajaan hari ini, bukan milik mana- mana Menteri, bukan milik mana-mana parti politik. Ia adalah amanah rakyat Malaysia dan hak generasi yang belum dilahirkan. Maka menjadi tanggungjawab kita memastikan setiap sen yang disimpan hari ini benar-benar menjadi benteng ekonomi negara pada masa hadapan.

Dengan semangat tersebut, saya bersama untuk menyokong RUU ini dengan syarat kerajaan bersedia menerima penambahbaikan yang mampu memperkukuhkan integriti, ketelusan dan akauntabiliti Kumpulan Wang Amanah Negara. Tuan Yang di-Pertua, sekian terima kasih.

draft • 12:41 PM

Timbalan Yang di-Pertua - Dato' Dr. Ramli bin Dato' Mohd Nor

Terima kasih Yang Berhormat Sik. Yang Berhormat Tuaran, saya menerima permohonan daripada Yang Berhormat. Saya luluskan dan Yang Berhormat dimasukkan dalam senarai pembahas. Berikut saya menjemput Yang Berhormat Putatan.

draft • 12:41 PM

Datuk Ir. Shahelmey bin Yahya - Putatan

Terima kasih Dato’ Yang di- Pertua. Sebagai inti pati pertama, Putatan ingin membangkitkan berkenaan pembayaran hasil duti eksport ke dalam Kumpulan Wang Amanah yang digariskan dalam fasal 4(1) rang undang-undang ini.

Subfasal (c) yang digariskan dalam peruntukan tersebut menarik perhatian Putatan untuk mendapatkan penjelasan terperinci daripada Kementerian Kewangan atau MOF berkenaan kutipan duti eksport yang merupakan antara penyumbang signifikan kepada peningkatan hasil Kerajaan Persekutuan.

Berhubung dengan peruntukan tersebut, Putatan minta Yang Berhormat Menteri menyatakan— pertama, jumlah duti eksport yang dikutip oleh Kerajaan Persekutuan daripada negeri Sabah bermula daripada 1 Januari 2023 sehingga 30 Jun 2026.

Kedua, daripada kutipan tersebut, berapakah jumlah yang telah diserahkan kepada negeri Sabah sebagai bayaran penyerahan hak sejak tahun 2023 sehingga 2025?

Ketiga, apakah tiga sektor ekonomi yang beroperasi di negeri Sabah yang telah menyumbang duti eksport yang tertinggi bagi tempoh tiga tahun pentadbiran Kerajaan MADANI?

Keempat, berapakah anggaran sumbangan duti eksport yang akan disumbangkan oleh Kerajaan Persekutuan kepada Kumpulan Wang Amanah Negara dengan mengambil kira senario perdagangan kebelakangan ini?

Dan kelima, apakah mekanisme pengauditan yang akan dilaksanakan untuk memastikan pemindahan wang bagi maksud fasal 4 ini benar-benar dilaksanakan mengikut tempoh yang digariskan dalam subfasal (3)?

Dato’ Yang di-Pertua, seterusnya sebagai inti pati kedua perbahasan ini adalah berkenaan sumbangan kepada Kumpulan Wang Amanah daripada sumber- sumber lain yang digariskan dalam fasal 5.

draft • 12:48 PM

Datuk Ir. Shahelmey bin Yahya - Putatan

Memandangkan tiada pematuhan penetapan kadar digariskan dalam peruntukan tersebut, Putatan berpandangan bahawa ketiga-tiga bentuk sumbangan yang digariskan perlu dinyatakan kejelasan untuk memastikan pematuhan sumbangan dapat dikuatkuasakan secara setara tanpa diskriminasi politik.

Berhubung dengan fasal 5 tersebut, Putatan minta Yang Berhormat Menteri menjelaskan:

(i) berapakah anggaran peratusan hasil royalti petroleum yang perlu disumbangkan oleh negeri Sabah bagi maksud fasal tersebut?;

(ii) apakah skop persetujuan yang telah dicapai secara dasar oleh MOF bersama Kerajaan Negeri Sabah berhubung sumbangan royalti yang dimaksudkan dalam subfasal (a)?;

(iii) berapakah anggaran sumbangan royalti petroleum yang dijangkakan oleh MOF mengikut negeri untuk lima tahun akan datang?;

(iv) adakah MOF akan menjadikan tahap kemajuan pembangunan negeri sebagai ukuran dalam menentukan kadar sumbangan royalti petroleum oleh negeri bagi maksud sumbangan kepada Kumpulan Wang Amanah?;

(v) apakah mekanisme penilaian yang akan dilaksanakan oleh Kumpulan Wang Amanah Negara Diperbadankan untuk menentukan kadar sumbangan daripada pemberian derma dan hadiah bagi maksud subfasal (d)?; dan

(vi) apakah bentuk pengauditan tahunan yang akan dilaksanakan untuk memastikan setiap pelaburan yang dibuat oleh Kumpulan Wang Amanah tidak mendatangkan implikasi negatif kepada pulangan pelaburan?

Dato' Yang di-Pertua, seterusnya Putatan ingin membangkitkan berkenaan pengambil gunaan Kumpulan Wang Amanah yang diperuntukkan dalam fasal 24.

Putatan ingin mendapatkan penerangan daripada MOF berkenaan perkara-perkara berikut:

(i) apakah skop pengambil gunaan yang dibolehkan bagi maksud pendidikan dan penjagaan kesihatan?;

(ii) bagaimanakah Kumpulan Wang Amanah Negara Diperbadankan akan menentukan keutamaan pengeluaran daripada permohonan yang dikemukakan kepada Menteri?; dan

(iii) adakah pengambil gunaan bagi maksud pendidikan dan penjagaan kesihatan akan melibatkan penelitian dasar yang ditentukan di peringkat Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kesihatan?

Dato' Yang di-Pertua, sebagai inti pati terakhir. Putatan ingin menyatakan pendirian berkenaan perihal permohonan pengeluaran yang digariskan dalam fasal 26. Putatan berpendirian bahawa pertimbangan kepada permohonan pengeluaran Kumpulan Wang Amanah hendaklah dilaksanakan mengikut kewajaran manfaat, khususnya yang melibatkan kepentingan rakyat. Kuasa mutlak Menteri yang diperuntukkan bagi maksud pengeluaran seharusnya digunakan dengan rasional, bertepatan dengan maksud pengambil gunaan yang digariskan dalam fasal 24.

Secara peribadi, Putatan mengharapkan agar Kumpulan Wang Amanah Negara akan diuruskan dengan cekap dan penuh berintegriti. Kumpulan Wang Amanah Negara Diperbadankan perlu menitikberatkan tentang soal kebertanggungjawaban penuh terhadap setiap sen yang diuruskan. Setiap sen yang diuruskan dengan cermat akan mendatangkan pulangan pelaburan yang meyakinkan untuk dimanfaatkan bagi segmen-segmen pengambil gunaan yang diperuntukkan.

Akhir sekali, Putatan berharap agar penubuhan Kumpulan Wang Amanah Negara ini tidak akan bersifat pilih kasih. Maksudnya, wang yang dilabel sebagai wang amanah negara tidak boleh sewenang-wenangnya dipesongkan atau dimanipulasi dengan tujuan tersirat untuk memuaskan kehendak entiti-entiti yang diragui agendanya. Dato' Yang di-Pertua, sekian saja perbahasan saya. Putatan mohon menyokong.

draft • 12:50 PM

Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor

Terima kasih Yang Berhormat Putatan. Selanjut dipersilakan Yang Berhormat Padang Besar.

draft • 12:50 PM

Tuan Rushdan bin Rusmi - Padang Besar

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.

draft • 12:54 PM

Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor

Waalaikumussalam.

draft • 12:54 PM

Tuan Rushdan bin Rusmi - Padang Besar

Terima kasih kepada Dato' Yang di-Pertua atas ruang dan peluang yang diberikan pada saya untuk mengambil bahagian dalam perbahasan Rang Undang-undang Kumpulan Wang Amanah Negara 2026.

Firman Allah SWT dalam Surah Al-Haj, ayat 18, “Wahai orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri melihat apa yang telah disediakan untuk hari esok”. Ayat ini mengajar kita bahawa perancangan masa depan merupakan tuntutan agama. Begitu juga dalam urusan negara. Sebuah negara yang bertanggungjawab bukan hanya memikirkan keperluan hari ini tetapi juga mempersiapkan bekalan untuk generasi yang akan datang. Atas semangat tersebut, saya menyambut baik usaha kerajaan memperbaharui Akta Kumpulan Wang Amanah Negara yang telah berusia hampir empat dekad.

Dato' Yang di-Pertua, pada hemat saya, falsafah utama RUU ini adalah suatu yang wajar disokong. Kita memahami bahawa hasil daripada sumber asli petroleum dan pelbagai kekayaan negara yang dinikmati pada hari ini bukanlah milik mutlak generasi kita. Sebahagiannya adalah hak milik anak-anak dan cucu cicit kita yang akan mewarisi negara ini pada masa depan.

Sebab itu saya melihat penetapan sumbangan minimum kepada KWAN, had pengeluaran yang lebih berdisiplin serta pengukuhan tadbir urus sebagai langkah yang begitu positif. Apa yang penting, RUU ini juga mengubah budaya pengurusan kewangan negara daripada hanya berbelanja kepada budaya menyimpan dan melabur secara strategik. Kita sering bercakap tentang pembangunan tetapi pembangunan yang lestari mestilah mempunyai simpanan yang lestari.

Dato' Yang di-Pertua, namun saya ingin mengambil kesempatan ini juga untuk mengemukakan beberapa pandangan dan cadangan penambahbaikan.

Pertama, soal ketelusan dan akauntabiliti kepada Parlimen. Saya menghargai bahawa Laporan Tahunan KWAN ini akan diaudit oleh Ketua Audit Negara dan dibentangkan di Parlimen. Namun, saya berpandangan bahawa pada masa hadapan, satu sesi khas atau laporan prestasi tahunan perlu dibentangkan kepada Dewan yang mulia ini.

Kita bukan sekadar mahu mengetahui berapa bilion duit yang terkumpul, kita mahu juga mengetahui berapakah pulangan sebenar selepas mengambil kira inflasi, apakah strategi pelaburan yang akan digunakan, apakah risiko yang sedang dihadapi dan yang paling penting, apakah impak kepada rakyat?

Kedua, saya ingin menyentuh mengenai penggunaan dana. Saya bersetuju bahawa apabila kerajaan mengehadkan penggunaan kepada pendidikan, kesihatan serta mitigasi dan adaptasi perubahan iklim. Tapi saya ingin mencadangkan juga setiap permohonan pengeluaran disertakan dengan penilaian impak yang jelas. Jika dana digunakan untuk pendidikan, apakah sasaran yang ingin dicapai? Jika digunakan untuk kesihatan, berapa ramai rakyat yang mendapat manfaat? Jika digunakan untuk perubahan iklim, sejauh mana risiko bencana dapat dikurangkan?

Ukuran kejayaan bukan berada pada wang yang dibelanjakan tapi berapa banyak perubahan yang berjaya diwujudkan.

Ketiga, saya ingin melihat KWAN menjadi pemangkin ekonomi masa depan negara. Kita bercakap tentang generasi akan datang. Maka, pelaburan untuk generasi akan datang tidak hanya boleh tertumpu kepada instrumen tradisional semata-mata. Saya berharap kerajaan mempertimbangkan strategi pelaburan yang turut menyokong sektor strategik negara seperti teknologi baharu, kecerdasan buatan, industri dron, keselamatan makanan, tenaga boleh diperbaharui dan inovasi tempatan.

Kita tidak mahu menjadi pengguna teknologi semata-mata, kita mahu Malaysia menjadi pencipta teknologi dan pemain utama dalam ekonomi masa depan.

Sebagai Ahli Parlimen Padang Besar yang ada terlibat dalam pembangunan ekosistem dron, teknologi dan inovasi sempadan, saya melihat potensi besar untuk negara memanfaatkan dana strategik bagi memperkukuhkan daya saing negara dalam bidang berimpak tinggi.

Keempat, saya ingin menyentuh soal manfaat kepada rakyat luar bandar dan kawasan sempadan. Kita bercakap tentang pendidikan dan kesihatan, kita bercakap tentang pelbagai isu. Masih terdapat kawasan yang berhadapan jurang pembangunan yang ketara. Masih terdapat pelajar yang berdepan kekangan akses teknologi, masih terdapat masyarakat luar bandar yang memerlukan kemudahan kesihatan yang baik.

Saya berharap apabila dana ini digunakan kelak, pertimbangan bukan hanya diberikan pada pusat-pusat bandar utama tapi juga kawasan sempadan dan luar bandar yang memerlukan perhatian. Pembangunan yang adil bukan bermaksud mendapat jumlah yang sama. Pembangunan yang adil bermaksud mereka yang paling memerlukan diberikan keutamaan sewajarnya.

Dato' Yang di-Pertua, saya juga ingin mendapat penjelasan daripada pihak

draft • 12:54 PM

Menteri

(i) adakah kerajaan mempunyai sasaran nilai KWAN yang ingin dicapai dalam 10 atau 20 akan datang?;

(ii) adakah kerajaan bercadang untuk mempelbagaikan lagi sumber sumbangan selain daripada mekanisme yang dicadangkan dalam RUU ini?; dan

(iii) adakah kerajaan bersedia mempertimbangkan satu mekanisme semakan berkala oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen bagi memastikan pengawasan yang lebih menyeluruh terhadap prestasi KWAN?

[Tuan Syahredzan bin Johan (Bangi) **mempengerusikan Mesyuarat****] Saya percaya, persoalan-persoalan ini penting kerana KWAN bukan sahaja tabung kewangan tetapi instrumen strategik negara. Tuan Yang di-Pertua, kita sering bercakap tentang hutang yang diwarisi oleh generasi akan datang. Hari ini kita mempunyai peluang untuk memastikan mereka bukan sahaja mewarisi tanggungjawab tapi juga mewarisi kekuatan.

Kita tidak mahu generasi yang menghabiskan segala hasil yang ada, sebaliknya kita mahu dikenang sebagai generasi yang menjaga amanah negara dengan penuh tanggungjawab. Dalam bahasa yang lebih mudah, kita tidak mahu anak cucu kita hanya mewarisi masalah dan hutang tetapi mewarisi peluang dan masa depan yang lebih baik.

Akhirnya, saya Padang Besar menyokong Rang Undang-undang Kumpulan Wang Amanah Negara 2026 dengan harapan bahawa semangat amanah, ketelusan dan kebertanggungjawaban yang terkandung di dalamnya akan terus diperkukuhkan demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara untuk jangka masa panjang.

Sekian, terima kasih. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

draft • 12:54 PM

Tuan Syahredzan bin Johan - Bangi

Waalaikumussalam. Terima kasih Yang Berhormat Padang Besar. Seterusnya, saya jemput Yang Berhormat Maran.

draft • 12:54 PM

Dato’ Sri Dr. Haji Ismail bin Abd Muttalib - Maran

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua kerana izinkan saya untuk terus membahaskan Rang Undang-undang Kumpulan Wang Amanah Negara 2026, Akta 339.

Pada prinsipnya, saya menyokong usaha kerajaan memperkukuh Kumpulan Wang Amanah Negara sebagai simpanan negara untuk generasi masa hadapan.

Namun, apabila kita menubuhkan sebuah badan baharu, melantik lembaga baharu dan membuka ruang pelaburan yang lebih luas, soalan saya adakah struktur baharu ini benar-benar akan mengurus Kumpulan Wang Amanah Negara ini dengan lebih baik daripada sebelumnya?

Tuan Yang di-Pertua, kita perlu bermula dengan prestasi Kumpulan Wang Amanah Negara yang sedia ada. Berdasarkan taklimat kerajaan, aset bersih KWAN― saya pendekkan, Yang di-Pertua― Kumpulan Wang Amanah Negara

(KWAN) meningkat kira-kira 62 peratus antara tahun 2014 sehingga 2020. Selepas hampir RM4.9 bilion dikeluarkan bagi pembelian vaksin, aset KWAN menurun kira- kira lapan [Tidak jelas] peratus menjelang tahun 2022. Namun, dana ini kemudian dipulih sebanyak kira-kira 37 peratus dan mencapai RM23.4 bilion pada tahun 2025.

Secara keseluruhan, aset KWAN meningkat kira-kira 81 peratus dalam tempoh 11 tahun. Namun, angka ini tidak boleh terus dianggap sebagai pulangan pelaburan kerana pertumbuhan aset turut dipengaruhi oleh sumbangan PETRONAS dan pengeluaran yang telah dibuat. Angka ini menunjukkan dua perkara. Pertama, KWAN telah membina aset dalam jangka panjang. Kedua, apabila berlaku krisis besar, keputusan mengeluarkan KWAN boleh memberikan kesan yang besar kepada saiz dana.

Pada tahun 2021, penggunaan KWAN untuk vaksin dipertikaikan khususnya dari segi sumber pembiayaan dan proses kelulusan. Namun, saya tidak mahu kita mengulang pendebatan lama seolah-olah vaksin ini tidak diperlukan. Vaksin diperlukan ketika negara berdepan darurat kesihatan. Masa Covid, ketika itu, kita menjaga kesihatan dan nyawa rakyat dari terus hilang. Nilai nyawa rakyat lebih mahal daripada nilai wang yang ada dalam simpanan KWAN ini.

Pindaan berkaitan penggunaan juga kemudiannya diluluskan di Dewan Rakyat melalui undian selepas dibahaskan oleh Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang. Jadi, perkara yang perlu kita perbaiki hari ini bukan niat mendapatkan vaksin. Perkara yang hendak diperbaiki ialah proses meluluskan pengeluaran wang.

Fasal 25 menetapkan had pengeluaran tahunan sebanyak 50 peratus daripada pulangan benar jangka panjang yang dijangka. Pengeluaran melebihi had memerlukan ketetapan Dewan Rakyat. Namun, jika sesuatu pengeluaran masih berada di dalam had tersebut, fasal 26 hanya memerlukan permohonan dikemukakan kepada Menteri untuk kelulusan.

Persoalan saya. Adakah ini bermakna pengeluaran yang bernilai besar masih boleh diluluskan oleh Menteri tanpa dibentangkan terlebih dahulu kepada Parlimen, selagi jumlahnya tidak melebihi had tahunan? Walau apa pun, nanti ia perlu dibawa kepada Parlimen dan dapat diluluskan. Tetapi kelulusan yang dibuat di dalam Parlimen bukan kerana kerajaan ada majoriti dan dalam pengundian tetapi sebenarnya ia diperlukan.

Had pengeluaran dan tahap pengawasan ialah dua perkara yang berbeza.

Suatu pengeluaran mungkin masih berada di dalam had tetapi nilai yang besar, kesannya panjang dan kerajaan memerlukan penilaian awam. Saya mencadangkan supaya setiap pengeluaran yang besar diwajibkan melalui penelitian Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen. Kerajaan juga hendaklah membentangkan jumlah dan tujuan pengeluaran, kesan dan hasil yang disasarkan, laporan penggunaan dan pencapaian.

Kedua, prestasi pengurusan baharu rang undang-undang ini mewujudkan pasukan pengurusan baharu bagi KWAN, manakala Bank Negara Malaysia akan meneruskan tugasnya sepanjang tempoh peralihan yang ditetapkan oleh Menteri atas syor lembaga. Saya memahami bahawa tiada Menteri boleh menjamin pulangan pelaburan kerana keadaan pasaran sentiasa berubah. Namun, kerajaan boleh dan mesti memberikan jaminan tentang cara prestasi akan diukur.

Apakah penanda aras prestasi pasukan pengurusan baharu? Yang kedua, adakah prestasi KWAN akan dilaporkan berdasarkan pulangan bersih selepas ditolak yuran pengurusan? Ketiga, apakah syarat dan ukuran prestasi yang mesti dipatuhi sebelum peranan Bank Negara Malaysia dikurangkan atau digantikan?

Jangan kita mengubah struktur hanya kerana mahu kelihatan baharu. Struktur baharu mesti membawa nilai tambah yang boleh diukur dan lebih baik.

Kos pengurusan. Fasal 6 membenarkan kos pengurusan KWAN termasuk saraan, pentadbiran, yuran pelaburan dibayar daripada dana itu sendiri.

Tuan Yang di-Pertua, saya menyokong pembaharuan KWAN. Namun, ukuran kejayaan bukan pada nama baharu, bilangan anggota lembaga atau luasnya pilihan pelaburan. Ukuran sebenar ialah sama ada KWAN mampu berkembang secara mampan, dikendalikan dengan kos dan risiko yang terkawal serta kekal kukuh melalui proses pengeluaran yang telus, termasuk ketika menghadapi krisis.

Oleh itu, saya minta tiga komitmen kerajaan. Yang pertama...

draft • 1:00 PM

Tuan Syahredzan bin Johan - Bangi

Yang Berhormat, masa sudah habis, Yang Berhormat.

draft • 1:00 PM

Dato’ Sri Dr. Haji Ismail bin Abd Muttalib - Maran

Sikit sahaja lagi.

Pengeluaran yang besar hendaklah melalui penelitian Parlimen. Yang kedua, prestasi pengurusan baharu hendaklah diterbitkan berdasarkan penanda aras yang jelas. Yang ketiga, sebarang perubahan terhadap peranan Bank Negara Malaysia hendaklah dibuat hanya selepas penilaian prestasi yang bebas dan dibentangkan.

Tuan Yang di-Pertua, KWAN ialah hasil simpanan sepenuhnya berpuluh- puluh tahun. Janganlah kita menilai pembaharuan ini berdasarkan janji semata-mata.

Nilailah berdasarkan proses yang lebih telus, kos yang lebih rendah dan paksi yang lebih baik yang memberi faedah kepada rakyat dan negara keseluruhannya.

Yang Berhormat Yang di-Pertua, saya mohon menyokong. Terima kasih.

draft • 1:00 PM

Tuan Syahredzan bin Johan - Bangi

Terima kasih, Yang Berhormat Maran.

Seterusnya, saya jemput Yang Berhormat Batu Gajah.

draft • 1:00 PM

Dr. Sivakumar a/l Varatharaju Naidu - Batu Gajah

Terima kasih Tuan Yang di-Pertua kerana memberi ruang kepada Batu Gajah untuk mengambil bahagian dalam perbahasan Rang Undang-undang Kumpulan Wang Amanah Negara 2026.

Saya percaya pembaharuan ini bukan sekadar pembaharuan kepada undang- undang tetapi satu usaha memperkukuh daya tahan fiskal negara demi kepentingan generasi akan datang.

Tuan Yang di-Pertua, hakikatnya, negara kita sedang berhadapan dengan beberapa cabaran besar. Yang pertama, Malaysia masih bergantung pada hasil yang bersifat terhad dan tidak boleh diperbaharui khususnya hasil daripada petroleum dan gas. Sumber ini telah banyak menyumbangkan kepada pembangunan negara selama berpuluh-puluh tahun.

Namun, kita harus akui bahawa sumber ini akan semakin berkurangan.

Sekiranya hasil tersebut dibelanjakan sepenuhnya untuk keperluan semasa tanpa diwujudkan simpanan yang mampan, maka generasi yang akan datang hanya akan mewarisi sumber yang semakin susut tanpa rizab kewangan yang mencukupi.

Atas sebab itulah pembaharuan KWAN amat penting. Rang undang-undang ini memperkukuh fungsi KWAN sebagai tabung simpanan antara generasi dengan memastikan terdapat sumbangan yang lebih konsisten serta sumber pembiayaan yang lebih pelbagai. Pendekatan ini membolehkan sebahagian kekayaan negara hari ini dipelihara untuk manfaat rakyat pada masa hadapan.

Kedua, kita belajar satu pengajaran yang amat besar semasa pandemik Covid-19. Ketika negara memerlukan perbelanjaan yang besar untuk membeli vaksin dan melindungi kesihatan rakyat, KWAN telah digunakan bagi tujuan tersebut. Ini membuktikan bahawa sesebuah negara memerlukan rizab kewangan strategik untuk menghadapi krisis luar jangka.

Namun, persoalannya adalah bagaimanakah kita memastikan dana seperti ini terus mencukupi apabila berdepan dengan krisis yang lebih besar pada masa hadapan. Jawapannya ialah melalui rang undang-undang ini yang menetapkan mekanisme sumbangan yang lebih mampan serta penggunaan dana yang lebih berdisiplin.

Ketiga, salah satu kelemahan dalam kerangka lama ialah skop penggunaan dan tadbir urus KWAN tidak lagi memenuhi keperluan ekonomi negara. Selepas hampir empat dekad, dunia telah berubah. Hari ini kita berdepan dengan cabaran perubahan iklim, penuaan penduduk, peningkatan kos penjagaan kesihatan dan keperluan pelaburan dalam modal insan.

RUU ini menjelaskan bahawa KWAN diwujudkan bagi menyokong keperluan strategik negara seperti pendidikan, penjagaan kesihatan serta mitigasi dan adaptasi perubahan iklim. Ini menunjukkan kerajaan bukan sekadar menyimpan dana tetapi memastikan simpanan tersebut benar-benar memberi manfaat kepada rakyat apabila negara memerlukannya.

Tuan Yang di-Pertua, selain itu, saya melihat pembaharuan dari sudut tadbir urus juga amat signifikan. Rakyat hari ini semakin menuntut ketelusan dalam pengurusan dana awam. Mereka mahu mengetahui bagaimana wang negara dilabur, siapakah yang membuat keputusan dan bagaimana prestasi dana tersebut diukur.

Oleh itu, langkah memperkukuh struktur tadbir urus melalui pemerbadanan KWAN, memperjelaskan tanggungjawab pengurusan serta memperkukuhkan akauntabiliti merupakan satu pembaharuan yang wajar dipuji. Dana awam yang besar bukan sahaja perlu berkembang, malah mesti diurus secara profesional, telus dan bertanggungjawab.

Walau bagaimanapun, saya ingin memohon penjelasan daripada Yang berhormat Menteri mengenai beberapa perkara yang berhubung kait dengan akauntabiliti.

draft • 1:06 PM

Dr. Sivakumar a/l Varatharaju Naidu - Batu Gajah

Pertama, dalam keadaan ekonomi yang luar biasa, apakah ataupun dalam satu keadaan krisis negara, adakah kerajaan boleh mengeluarkan dana melebih had yang ditetapkan? Jika ya, apakah syarat dan proses kelulusannya?

Keduanya, memandangkan PETRONAS merupakan penyumbang utama kepada KWAN selama ini, adakah formula baru ini akan memberi kesan kepada keupayaan PETRONAS melaksanakan pelaburan strategik dan pembayaran dividen kepada kerajaan? Selain itu, adakah model tadbir urus dan pelaburan KWAN 2026 ini dirujuk kepada dana kekayaan negara seperti Norway Government Pension Fund atau Temasek Singapore. Apakah amalan terbaik diambil?

Akhir sekali, adakah kerajaan bercadang menetapkan sasaran pertumbuhan aset KWAN serta penanda aras prestasi pelaburan aset Parlimen agar Parlimen dapat menilai keberkesanan pembaharuan ini secara berkala? Pada hemat saya, rang undang-undang ini bukan sekadar mengenai pengurusan kewangan, ia adalah mengenai keadilan antara generasi. Kita tidak boleh menikmati kekayaan hari ini dan melupakan generasi akan datang, sedangkan generasi akan datang mewarisi beban dan sumber yang semakin berkurangan.

Oleh itu, saya menyokong Rang Undang-undang Kumpulan Wang Amanah Negara 2026 dan berharap pelaksanaannya nanti benar-benar memenuhi matlamat asal penubuhannya iaitu melindungi kepentingan rakyat Malaysia bukan sahaja pada hari ini tetapi juga untuk puluhan tahun akan datang. Sekian, terima kasih.

draft • 1:10 PM

Tuan Syahredzan bin Johan - Bangi

Terima kasih Yang Berhormat Batu Gajah. Seterusnya saya jemput Yang Berhormat Rantau Panjang.

draft • 1:10 PM

Dato' Hajah Siti Zailah binti Mohd Yusoff - Rantau Panjang

Ya.

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Terima kasih, Tuan Yang di-Pertua kerana turut memberi peluang kepada saya untuk bersama-sama membahaskan RUU Kumpulan Wang Amanah Negara 2026.

Pada prinsipnya, kita menyokong usaha kerajaan untuk mengukuhkan lagi Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) sebagai dana amanah negara yang bertujuan memelihara sebahagian kekayaan negara bagi manfaat generasi akan datang. Hasrat ini amat baik kerana sumber seperti petroleum, gas, mineral merupakan sumber yang semakin menyusut. Kekayaan yang dinikmati hari ini tidak boleh dihabiskan oleh generasi sekarang sehingga generasi akan datang yang akan mewarisi hasil yang semakin berkurangan.

Dalam konsep ini kita merujuk kepada firman Allah dalam Quran, dengan izin, [Berucap dalam bahasa Arab] yang mana Allah menyuruh kita supaya menyampaikan amanah kepada orang yang berhak menerimanya. Maka apabila kerajaan menggunakan istilah amanah negara, amanah itu bukan sekadar menyimpan wang. Amanah menuntut ketelusan, akauntabiliti, integriti, tadbir urus dan kebebasan daripada sebarang kepentingan politik.

RUU ini membawa beberapa pembaharuan positif, yang mana kita di antaranya mewajibkan sumbangan minimum kepada KWAN dan mengehadkan penggunaan dana kepada pendidikan, penjagaan kesihatan dan termasuk juga adaptasi perubahan iklim dan sebagainya. Dan perkara ini mungkin boleh ditambah baik lagi untuk keperluan rakyat seluruhnya. Jadi, namun begitu, terdapat beberapa perkara yang perlu diperkemaskan dalam rang undang-undang ini.

Yang pertama ialah tadbir urus masih terlalu bergantung kepada Menteri.

Walaupun kerajaan memperkenalkan sebuah lembaga untuk mentadbir KWAN, hakikatnya kuasa utama masih tertumpu kepada Menteri Kewangan. Menteri melantik pengerusi dan ahli-ahli lembaga, Menteri meluluskan dasar pelaburan, Menteri meluluskan pengeluaran dana, Menteri juga memberikan arahan kepada lembaga.

Persoalannya, di manakah kebebasan institusi ini? Jika dia benar-benar mahu wujudkan satu institusi yang benar-benar bebas. Jadi, seharusnya dia tidak harus hanya terikat di tangan kuasa politik semata-mata. Jadi, dana ini adalah milik rakyat dan generasi masa depan.

Oleh itu, saya mencadangkan supaya pelantikan pengerusi dan ahli profesional lembaga terlebih dahulu melalui penelitian Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen dan ini akan meningkatkan lagi keyakinan pelabur, pasaran dan rakyat terhadap kebebasan KWAN.

Yang kedua ialah tiada wakil negeri sebagai pengeluar sumber asli. Dana ini menerima sumbangan hasil petroleum dan sumber asli negara. Namun, dalam RUU ini tidak satu pun peruntukan yang menjamin penyertaan wakil negeri-negeri pengeluar petroleum seperti Kelantan, Terengganu, Sabah, Sarawak dalam Lembaga KWAN.

Jadi, negeri ini adalah penyumbang kepada kekayaan negara melalui hasil bumi mereka. Maka amat wajar sekurang-kurangnya seorang wakil daripada negeri pengeluar sumber asli dilantik sebagai anggota lembaga bagi memastikan suara negeri turut didengari dalam membentuk hala tuju dan amanah negara. Ini bukan soal politik, tapi menghormati semangat federalisme.

Yang ketiga ialah berkaitan dengan pelaburan patuh syariah. Malaysia hari ini dikenali di antara peneraju kewangan Islam dunia. Kita mempunyai sistem kewangan yang matang, Suruhanjaya Sekuriti dan mengiktiraf sekuriti patuh syariah serta institusi kewangan Islam yang menjadi rujukan dunia. Namun, kita lihat rang undang-undang ini langsung tidak menyatakan bahawa pelaburan KWAN hendaklah mengutamakan instrumen yang patuh syariah sedangkan prinsip syariah bukan hanya berkaitan dengan halal dan haram.

Prinsip syariah membawa nilai sejagat seperti ketelusan, keadilan, akauntabiliti, perkongsian risiko yang adil serta mengelakkan unsur riba, perjudian dan ketidakpastian melampau. Jadi, malah pelaburan patuh syariah ini juga terbukti lebih stabil jika berlakunya krisis kewangan kerana lebih menumpu kepada ekonomi sebenar bukan aktiviti spekulatif.

Saya bimbang sekiranya tiada dasar yang jelas suatu hari nanti dana amanah yang besar ini boleh dilaburkan kepada industri perjudian, arak, hiburan melampau ataupun syarikat yang merosakkan alam sekitar. Oleh itu, di mana legasi kepada generasi akan datang? Jadi, saya mencadangkan supaya kerajaan memasukkan satu peruntukan bahawa KWAN hendaklah mengutamakan peraturan pelaburan patuh syariah di samping menubuhkan jawatankuasa penasihat syariah yang bebas bagi menasihati lembaga dalam semua keputusan pelaburan strategik.

Yang ke seterusnya, yang keempat ialah ketelusan dan akauntabiliti. Yang mana saya menghargai bahawa laporan tahunan akan diaudit oleh Audit Negara dan dibentangkan di Parlimen. Namun, saya berpandangan bahawa membentangkan laporan sahaja tidak mencukupi, dia perlu dibahas dan dia hendaklah jawatankuasa itu diberi ruang kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara atau PAC diberi kuasa secara jelas untuk memanggil lembaga wang bagi memberi penjelasan mengenai prestasi pelaburan pengurusan dan risiko penggunaan dana supaya berlaku semak dan imbang.

draft • 1:11 PM

Tuan Syahredzan bin Johan - Bangi

Yang Berhormat, masa dah habis Yang Berhormat.

draft • 1:11 PM

Dato' Hajah Siti Zailah binti Mohd Yusoff - Rantau Panjang

Ya. Jadi, kerana masa tidak mengizinkan.

draft • 1:11 PM

Tuan Syahredzan bin Johan - Bangi

30 saat lagi.

draft • 1:11 PM

Dato' Hajah Siti Zailah binti Mohd Yusoff - Rantau Panjang

Terima kasih, Tuan Yang di-Pertua.

draft • 1:11 PM

Tuan Syahredzan bin Johan - Bangi

Terima kasih, Yang Berhormat Rantau Panjang. Seterusnya, saya jemput Yang Berhormat Tanjong Karang.

draft • 1:11 PM

Kapten Dato' Dr. Zulkafperi bin Hanapi (B) - Tanjong Karang

Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Tanjong Karang bangun untuk menyokong dan membahaskan Rang Undang-undang Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) 2026 yang dibawa oleh Kementerian Kewangan.

Pindaan ke atas Akta Kumpulan Wang Amanah Negara 1988 atau [Akta 339] ini, dengan matlamat yang sangat jelas untuk memastikan hasil daripada sumber asli negara yang terhad, khususnya petroleum dan gas tidak habis begitu sahaja, ia adalah tabung pelaburan masa hadapan demi generasi akan datang.

Namun Tuan Yang di-Pertua, dunia hari ini menuntut kita untuk menjadi lebih dinamik. Krisis ekonomi global, keperluan mendesak di dalam struktur ekonomi baharu dan kesan jangka panjang kepada pandemik lalu membuktikan bahawa dana amanah tidak boleh sekadar menjadi simpanan kaku. Ia mesti diurus dengan strategi yang seimbang antara perlindungan masa depan dan keperluan yang mendesak masa kini.

Tuan Yang di-Pertua, pindaan atau pengurusan baharu di bawah MOF ini adalah langkah realistik. Kita perlu melihat kepada konsep fleksibiliti, bertanggungjawab. Sebelum ini interpretasi pengeluaran dana KWAN adalah sangat terhad. Tuan Yang di-Pertua, saya tertarik dengan fasal yang memperuntukkan tentang mekanisme pengeluaran yang meletakkan syarat yang ketat bagi memastikan dana hanya disalurkan kepada pelaburan strategik yang memberikan pulangan jangka panjang bukannya untuk menampung perbelanjaan mengurus kerajaan.

Kita tidak boleh menyekat seluruh dana ketika ekonomi memerlukan suntikan untuk melonjakkan industri masa hadapan seperti teknologi hijau, keterjaminan makanan. Menggunakan sebahagian dana untuk pelaburan berimpak tinggi dalam negara adalah lebih baik dari membiarkan ia cair akibat inflasi global.

Namun, Tuan Yang di-Pertua, kebimbangan utama yang sering dibangkitkan oleh rakan-rakan Ahli Parlimen adalah risiko salah guna dana. Ini adalah kebimbangan yang berasas dan MOF memandang serius perkara ini. Oleh itu, RUU ini memperkukuh aspek tadbir urus (governance). Kita menuntut agar yang pertama, laporan berkala mengenai prestasi pelaburan dan pengeluaran KWAN dibentangkan di Parlimen secara telus.

draft • 1:17 PM

Kapten Dato' Dr. Zulkafperi bin Hanapi (B) - Tanjong Karang

Kedua, setiap pengeluaran mesti mempunyai tujuan spesifik (earmarked) dan bukan dimasukkan ke dalam Akaun Hasil Disatukan untuk perbelanjaan mengurus.

Ketiga, mewujudkan jawatankuasa pelaburan bebas yang terdiri daripada pakar kewangan dan korporat bagi memastikan setiap Ringgit yang dilaburkan mendapat pulangan yang optimum.

Kita mahu KWAN diuruskan seperti dana kekayaan berdaulat terkemuka dunia seperti di Norway atau Singapura yang mempunyai sistem semak dan imbang yang sangat ketat.

Tuan Yang di-Pertua, satu perkara yang wajib diberi perhatian dalam RUU ini adalah strategi penggantian dana. Jika kita mengambil air daripada perigi-perigi itu, akhirnya akan kering jika tidak diisi semula. MOF perlu membentangkan pelan komprehensif bagaimana dana KWAN ini ditambah secara konsisten. Kita tidak boleh lagi bergantung 100 peratus kepada dividen Petronas.

Pelbagai alternatif perlu diterokai termasuk memasukkan sebahagian daripada hasil cukai karbon (carbon tax) yang bakal dilaksanakan, saluran daripada hasil industri baru seperti nadir bumi (REE) yang diproses dalam negara, menetapkan sasaran nilai minimum floor value yang tidak boleh disentuh sama sekali bagi menjamin modal asas KWAN kekal selamat untuk generasi 50 tahun yang akan datang.

Tuan Yang di-Pertua, kesimpulannya, RUU Kumpulan Wang Amanah Negara ini bukan satu cek kosong untuk kerajaan berbelanja sesuka hati. Sebaliknya, ia adalah sebuah instrumen reformasi kewangan yang mementingkan ketangkasan ekonomi atau dengan izin, economic agility dalam acuan tadbir urus yang ketat. Kita perlu berani membuat perubahan.

Jika kita mengurus dana ini dengan cara lama, kita mungkin selamat daripada risiko jangka pendek tetapi kita gagal meletakkan Malaysia ke hadapan dalam persaingan dunia global. Dengan adanya ketelusan, pengawasan Parlimen dan strategi pelaburan yang bijak, KWAN akan kekal menjadi pelindung dan pemaju kemakmuran negara.

Tanjong Karang mohon menyokong. Sekian, terima kasih. Saya sudahi dengan wabillahitaufik walhidayah, Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih.

draft • 1:20 PM

Tuan Syahredzan bin Johan - Bangi

Waalaikumussalam. Terima kasih, tepat pada masanya Yang Berhormat Tanjong Karang. Seterusnya saya jemput Yang Berhormat Sipitang.

draft • 1:20 PM

Datuk Matbali bin Musah - Sipitang

*Bismilllahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh* dan salam sejahtera. Terima kasih Dato' Yang di-Pertua kerana memberi ruang kepada Sipitang untuk membahaskan Rang Undang-undang Kumpulan Wang Amanah Negara (Pindaan) 2026 pada hari terakhir kita bersidang di penggal pertengahan tahun 2026 ini.

Kalau hendak belayar jauh, Sediakan sauh sebelum ribut melanda; Kalau hendak membina negara yang teguh, Simpanlah bekal sebelum musibah menjelma. Menerusi rang undang-undang ini, kita sedang mengukir satu ikrar untuk generasi baharu demi Malaysia yang akan terus berdiri megah pada masa hadapan.

Bagi Sipitang, rang undang-undang ini antara pembaharuan paling signifikan kepada Kumpulan Wang Amanah Negara sejak ia ditubuhkan pada tahun 1988. Hampir empat dekad berlalu, dunia berubah, ekonomi berubah, cabaran juga berubah.

Maka, tabung yang diwujudkan untuk masa depan ini juga wajib diperbaharui agar kekal relevan dengan cabaran dan juga putaran zaman.

Syabas kepada Yang Berhormat Menteri di atas pembentangan rang undang- undang ini. Inilah hakikat pimpinan negara kita yang bijaksana, yang bukan hanya mengira hasil hari ini tetapi menghitung keperluan hari esok. Negara yang hebat bukan semata-mata kaya dengan hasil bumi tetapi kaya dengan kebijaksanaan mengurus rezeki. Seperti kata orang tua-tua kita dahulu, ‘Sediakan bekal sebelum perjalanan jauh’.

RUU ini membawa pembaharuan yang menyeluruh, yang memperkemaskan aliran masuk dana, memperjelaskan kaedah pengeluaran dan penggunaan, memperkukuh tadbir urus serta memperbaharui pengurusan pelaburan. Semua ini memberi satu jaminan bahawa aliran dana KWAN akan menjadi lebih konsisten, lebih mampan dan lebih terjamin untuk dekad-dekad yang akan datang.

Sipitang melihat pendekatan ini sangat bertepatan dengan semangat Malaysia MADANI. Kita tidak boleh terus bergantung kepada hasil semasa tetapi memikirkan simpanan untuk generasi pewaris negara bangsa. Hasil negara bukan sekadar untuk dibelanjakan tetapi mesti diurus sebagai amanah. Amanah kepada anak-anak kita, amanah kepada cucu cicit kita, amanah kepada sejarah dan peradaban.

Dato' Yang di-Pertua, hidup ini ibarat pusingan roda yang sentiasa berputar.

Hari ini ekonomi mungkin berkembang, pelaburan bertambah-tambah dan rakyat menikmati kestabilan. Namun, siapa dapat menjamin langit sentiasa cerah. Siapa dapat menjamin badai tidak akan datang melanda kerana kita tahu dunia ini kini sedang menyaksikan peperangan, penularan wabak, krisis makanan, ketidaktentuan geopolitik serta perubahan iklim yang semakin menggugat kehidupan manusia.

Sebab itu saya bersetuju apabila penggunaan KWAN dihadkan kepada tiga bidang yang benar-benar menyentuh denyut nadi rakyat iaitu pendidikan, kesihatan serta mitigasi dan adaptasi perubahan iklim. Ketiga-tiga sektor ini bukan perbelanjaan biasa tetapi pelaburan jangka panjang yang menentukan jatuh bangunnya sebuah negara.

Pendidikan membina akar bangsa, kesihatan memelihara kekuatan rakyat, adaptasi perubahan iklim pula mempertahankan kelangsungan kehidupan. Jika ketiga-tiga dipelihara, negara akan terus teguh. Jika diabaikan, negara akan kehilangan arah. Inilah pelaburan yang manfaatnya tidak berakhir dalam satu penggal pemerintahan tetapi diwarisi berpuluh-puluh tahun lamanya.

Perubahan iklim bukan lagi ancaman masa depan tetapi realiti hari ini. Negeri kami, Sabah sendiri mengalami banjir luar biasa berulang-ulang, hakisan pantai, cuaca tidak menentu dan perubahan musim yang menjejaskan nelayan serta petani.

Oleh itu, adalah amat wajar jika KWAN turut menjadi benteng kewangan negara dalam menghadapi cabaran iklim yang semakin kompleks.

Saya juga menghargai penekanan kerajaan terhadap tadbir urus yang lebih telus dan profesional. Amanah tanpa integriti akan mengundang keraguan, pelaburan tanpa disiplin akan mengundang kerugian. Sebaliknya apabila tadbir urus diperkukuh, keyakinan rakyat akan bertambah dan masa depan KWAN akan lebih terjamin.

Sesungguhnya kita tidak mahu mengulangi kesilapan banyak negara yang kaya dengan sumber tetapi miskin dalam perancangan. Kaya yang boleh habis jika dibelanjakan tanpa batas, namun kekayaan yang diurus dengan hikmah akan terus berkembang walaupun zaman berubah silih berganti. Izinkan saya mengingatkan Dewan yang mulia ini bahawa hari ini kita mungkin kuat, kita mungkin stabil, kita mungkin dipuji dan disanjung tetapi sejarah mengajar kita bahawa kegemilangan tanpa perancangan akhirnya akan menjadi kenangan. Masa depan tidak dibina dengan harapan semata-mata tetapi dengan disiplin, keberanian dan kebijaksanaan membuat keputusan hari ini.

Sebab itulah saya melihat pembentangan rang undang-undang ini begitu bertepatan. Kerajaan MADANI sedang menyediakan benteng sebelum gelombang melanda. Kita sedang menyimpan ketika masih mampu supaya cabaran datang, negara tidak terpaksa meminjam maruah hanya untuk mempertahankan kelangsungan rakyat.

Dato' Yang di-Pertua, ketika membahaskan rang undang-undang ini saya teringat kepada lagu Allahyarham Datuk Dahlan Zainudin yang bertajuk, ‘Ketika Kemiskinan Menanti di Pintu’. Mesej dalam lagu ini mendalam. Bukan sekadar hiburan, ia sebuah peringatan. Kemiskinan tidak datang seperti dentuman guruh, ia datang perlahan-lahan apabila kita lalai, apabila kita gagal membuat persediaan dan akhirnya sebagai penutup, saya ingin baca bait-bait terakhir korus lagu ini.

*“Zaman kegemilangan telah ku lewati, waktu itu kau bangga berada di sisi.

Saat ini, di persimpangan antara masa silam dan esok yang suram, alangkah tepatnya kata-kata pujangga, hidup tak ubah seperti pusingan roda, kemiskinan ku menanti di pintu, menyusupi jendela kasih sayang mu”.* Sekian, Sipitang mohon menyokong. Terima kasih.

draft • 1:22 PM

Tuan Syahredzan bin Johan - Bangi

Terima kasih Yang Berhormat Sipitang. Saya ingat nak nyanyi tadi, baca sahaja. Yang Berhormat, terima kasih.

Seterusnya saya jemput Yang Berhormat Sabak Bernam. Pun boleh nyanyi juga kalau nak.

draft • 1:22 PM

Tuan Kalam bin Salan - Sabak Bernam

Insya-Allah. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, selamat sejahtera. Rang Undang-undang Kumpulan Wang Amanah Negara 2026. Tuan Yang di-Pertua, bak kata pepatah Melayu, ‘Sediakan payung sebelum hujan’, begitulah falsafah yang mendasari RUU ini.

Ketika hasil minyak, gas dan sumber galian masih menjadi kekuatan negara, sebahagiannya perlu disimpan dan diurus dengan bijaksana agar anak cucu kita bukan sekadar mewarisi cerita tentang kekayaan negara tetapi turut menikmati manfaatnya.

Orang Minangkabau pula ada berposan, nan ditanam ari iko, dipetik anak kemanakan di hari kemudian. Maksudnya, apa yang kita tanam dan usahakan hari ini akan dituai oleh generasi yang akan datang. Kumpulan Wang Amanah Negara bukan sekadar tabung kewangan tetapi lambang tanggungjawab kita terhadap masa hadapan. Saya menyokong hasrat kerajaan memperkukuhkan Kumpulan Wang Amanah Negara sebagai benteng kewangan negara. Sumber yang tidak kekal perlu ditukar menjadi kekayaan yang berpanjangan.

draft • 1:29 PM

Tuan Kalam bin Salan - Sabak Bernam

Jangan sampai satu hari nanti anak cucu kita bertanya, di manakah hasil bumi yang pernah menjadi kebanggaan negara?

Tuan Yang di-Pertua, dalam membina sebuah dana amanah, kita bukan sekadar membina angka dan laporan kewangan, kita sedang membina kepercayaan rakyat. Amanah adalah tiang, integriti adalah bumbungnya. Jika tiangnya rapuh dan bumbungnya bocor, seluruh rumah akan rosak.

Pepatah Minangkabau mengingatkan, “Adat basandi sarak, sarak basandi Kitabullah”. Maksudnya kita, setiap urusan kita hendaklah berpaksikan nilai, kebenaran dan amanah. Begitu juga dalam mengurus wang negara. Bukan hanya mengikut peraturan dan mesti menunjuk prinsip kejujuran dan tanggungjawab.

Tuan Yang di-Pertua, RUU ini mengehadkan penggunaan dana kepada bidang penting seperti pendidikan, penjagaan kesihatan serta mitigasi dan penyesuaian perubahan iklim. Ini satu langkah yang baik kerana dana amanah tidak sepatutnya menjadi tabung segera setiap kali negara menghadapi tekanan.

Namun, saya ingin mengingatkan bagaimana tajuk filem bukan kerana nama.

Pengurusan dana ini jangan hanya baik pada nama tapi mesti dibuktikan melalui tabung urus yang kukuh, telus dan akauntabiliti. Nama yang besar tanpa amanah yang besar tidak membawa makna.

Tuan Yang di-Pertua, saya melihat terdapat beberapa ruang penambahbaikan. Pertama, kuasa Menteri dan RUU ini adalah besar termasuk melantik ahli lembaga meluluskan ketua eksekutif strategi pelaburan dan memberi arahan kepada lembaga. Saya tidak pertikaikan peranan Menteri, tetapi dalam sebuah sistem yang matang, kuasa mesti diseimbangkan dengan semak dan imbang.

Bak pepatah Melayu “Menarik rambut dalam tepung, rambut tidak putus jangan tepung pula berselerak”. Dalam bahasa Minangkabau pula, “Berhimpit biar di ateh, tempuruang biar di lua; nan kusuik ka disalasaikan, nan karuah ka dijaniahkan”.

Maksudnya, walaupun keadaan menjadi sempit dan rumit, jangan sekali hilang pertimbangan. Segala yang kusut hendaklah dileraikan dengan segala yang keruh hendaklah dijernihkan.

Inilah prinsip yang perlu ada dalam pengurusan negara. Sebarang kekeliruan kuasa, kelemahan tadbir urus atau kebimbangan rakyat hendaklah diselesaikan dengan keterbukaan bukan dibiarkan menjadi persoalan.

Kedua, pelantikan ahli lembaga wajar melalui proses yang lebih telus termasuk penelitian Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen. Dana ini bukan milik kerajaan yang memerintah sahaja, ia adalah amanah seluruh rakyat Malaysia. Orang Minangkabau berkata “Bulek aia dek pambuluah, bulek kato dek mufakat”. Air menjadi bulat kerana pembuluh, kata menjadi sepakat kerana muafakat.

Maka, keputusan besar yang melibatkan kekayaan negara hendaklah lahir daripada pandangan yang luas dan bijaksana.

Ketiga, laporan prestasi pelaburan hendaklah dibentangkan secara berkala di Parlimen. Rakyat bukan hanya mahu tahu berapa banyak wang simpanan, tapi mahu tahu bagaimana wang itu berkembang, diuruskan dan dilindungi. Jangan sampai keuntungan dikejar sehingga risiko dilupakan.

Dalam filem Pendekar Bujang Lapuk, kita belajar bahawa kejayaan tidak datang kerana kekuatan semata-mata tetapi kerana ilmu, disiplin dan latihan. Begitu juga dengan pelaburan. Keberanian mesti disertai dengan kepakaran, strategi dan pengurusan risiko yang bijaksana.

Tuan Yang di-Pertua, dalam mengurus sebuah dana besar, perkara yang paling bahaya ialah kekeliruan dan maklumat yang tidak jelas. Dalam filem Labu- Labi, banyak kekeliruan berlaku kerana salah faham dan maklumat bercelaru.

Namun begitu, dalam pengurusan kewangan negara, setiap keputusan mestilah berdasarkan data yang tepat, laporan yang jelas dan komunikasi yang telus.

Manakala dalam filem Tiga Abdul, kita melihat bagaimana kebijaksanaan akhirnya mengatasi helah dan cabaran.

Pengajaran daripada kisah tersebut ialah kuasa tanpa kebijaksanaan boleh disalahgunakan tetapi kebijaksanaan yang disertai dengan kemampuan amanah, menyelamatkan keadaan.

Tuan Yang di-Pertua, pepatah Minangkabau menyebut “Nan bana tagak sandirinyo, nan salah tumbang sandirinyo”. Yang benar akan tetap berdiri, yang salah akhirnya akan rebah.

draft • 1:30 PM

Tuan Kalam bin Salan - Sabak Bernam

YB, masa dah habis dah YB.

draft • 1:30 PM

Tuan Syahredzan bin Johan - Bangi

Saya gulung, Tuan Yang di-Pertua.

draft • 1:30 PM

Tuan Kalam bin Salan - Sabak Bernam

Saya akhiri dengan kata-kata pujangga Minangkabau— yang selepas ini akan insya-Allah berkumandang di Negeri Sembilan.

“Nan ado kini jan dihabihkan kini, nan tibo esok dipikia dari kini. Harto nogaro bukan untuk surang, tapi untuk anak jo cucu. Ditanam amanah, dipaliharo budi, dikambangkan bijaksano. Kok kukuh akarnyo takwa, batangnyo elok, rantiangnyo basar, panjang jo lua manfaatnyo untuk rakyat.” Insya-Allah saya boleh menjalankan tugas nanti di Negeri Sembilan. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.

draft • 1:30 PM

Tuan Syahredzan bin Johan - Bangi

Terima kasih Yang Berhormat Sabak Bernam. Seterusnya saya menjemput Yang Berhormat Arau.

draft • 1:30 PM

Dato’ Seri Dr. Shahidan bin Kassim - Arau

Terima kasih Tuan Yang di- Pertua, rakyat Malaysia, orang muda. Minggu ini, kita panggil “Minggu Menteri”. Yang Berhormat berada di bawah semalam, kita berbincang hebat tentang kuasa Menteri.

Jadi, hari ini pun hari kuasa Menteri. Nampaknya bil ini ialah bil kuasa Menteri. Apa dia reformasi? Jadi, kita nak tanya kepada kerajaan sekarang, apa dia bentuk reformasi yang nak dibawa? Kalau dulu, kerajaan dulu di-complain kerana menggunakan perkataan kuasa Menteri, dalam RUU.

Hari ini pun sama, kuasa Menteri. Tidak ada reformasi dan bila kita tanya soalan, mereka akan jawab, kerajaan dulu buat. Macam semalam MCMC— “ini 1998 dah buat, kami hanya ikut sahaja”. Bayangkan membandingkan yang lepas, pada hal yang lepas, kita kata tidak berguna, kerana itu kita kena buat reformasi.

Reformasi apa?

Dia kata undang-undang ini berdasarkan 1998— MCMC kelmarin lah. Yang saya pertikai itu sebab lantikan Menteri, yang keduanya tentang fake account ini.

Kalau orang complain Perdana Menteri, cepat je kita dapat tangkap, tapi orang biasa dengan orang biasa ini, sampai nak rak mencari tak dapat. Contohnya apa yang berlaku semalam, kepada kisah yang berlaku di Perlis itu— tak dapat kesan siapa yang mengeluarkan fitnah tersebut.

Padahal, saya rasa kalau terkena kepada Perdana Menteri, ke sudah pasti dapat dikesan. Jadi, saya nak minta supaya memberi layanan yang saksama. Yang ini pun kita tak boleh buat apa dah, kuasa Menteri. Jadi, kita tahu bahawa Parlimen ini apa yang disediakan oleh kerajaan, kebanyakannya kita ikut.

Hat kelmarin saya menentang tentang kuasa Menteri. Hat hari ini, saya kata ini bill yang terbaik, saya sokong sebab saya berpengalaman dengan apa yang dibuat oleh Temasik dulu, dan sepatutnya kita dah buat lama dah. Temasik dah buat lama dan kerajaan mempunyai sumber yang cukup kuat. Itu sebab bajet pertahanannya cukup luar biasa, kita pun tak terfikir bagaimana bajet pertahanan kepada sebuah negeri yang kecil mempunyai 100 missile sebagai contoh, mempunyai enam kapal selam.

Jadi, kita tak payah banding dengan kita, tak payah cerita tentang kita tapi di antara kaekuatannya ialah kekuatan daripada sumber kewangan, keuntungan yang mereka dapat. Jadi, kita berharap dengan rang undang-undang ini, ia nya menuju ke arah yang lebih baik kepada negara dan kalau boleh, negara kali ini kalau nak minta duit daripada tabung ini, pastikan kita gunakan untuk pertahanan, yang lebih untuk pertahanan.

Sebab kita tahu bahawa banyak tamadun dahulu kala hancur kerana kurang memberi penekanan kepada pertahanan. Contohnya ialah Tamadun Islam di Baghdad dulu hancur oleh Hulagu kerana masa Hulagu datang dengan 100,000 tentera, mereka hanya ada 20,000 orang tentera di Baghdad, akhirnya telah— ia nya telah dihancurkan oleh puak-puak ini kerana kita tak bagi perhatian kepada pertahanan. Kita hanya kira pertumbuhan, kekayaan, pertumbuhan, kekayaan, akhirnya kita alpakan negeri kita.

Okey, yang pertama saya nak sentuh cuma tiga benda Tuan Yang di-Pertua.

Yang pertamanya sumber. Sumber ini saya setuju di bawah Perkara 4 ini, saya setuju. Ini yang terbaik dan sumber ini pula dia tak terhad, dia daripada mana-mana keuntungan termasuk pelaburan daripada badan-badan kerajaan seperti KWSP dan sebagainya, sumber tak terhad. Ini suatu yang cukup bagus disokong. Malah bill ini kita sokonglah, kecuali kuasa Menteri yang saya akan tegurkan.

Yang keduanya ialah fasal 11, lantikan. Lagi sekali Yang Berhormat, lantikan.

Yang Berhormat tengok lantikan. Pengerusi, timbalan, seorang pegawai di Jabatan Perdana Menteri dan tidak kurang daripada dua tetapi tidak lebih daripada lima, empat orang daripada anggota yang mempunyai pengetahuan pengalaman.

Hat yang ini, kuasa Menteri dia. Jadi, Menteri tengok-tengok, ini kawan saya dulu yang pernah— Jadi, kuasa Menteri ini, kita minta supaya perkataan ‘Menteri’ di sini diganti dengan Parlimen. Itulah reformasi, kalau nak nama reformasi yang terbesar, kerajaan ini harus melihat bahawa perkataan ‘kuasa Menteri’ itu ditukar kepada Parlimen.

draft • 1:35 PM

Dato’ Seri Dr. Shahidan bin Kassim - Arau

Parlimen pun sebenarnya kuasa Menteri, tak lari sebab Parlimen kita lihat apa ni committee di Parlimen majoritinya orang kerajaan. Contohnya committee saya empat orang daripada kami dan tujuh daripada kerajaan. Jadi makna kata, kuasa Menteri bukan saja berada— perkataan Menteri tapi berada juga— di Parlimen ini kuasa Menteri. Salahkah perkataan Menteri itu ditukar kepada Parlimen? Adakah Speaker setuju dengan saya? Sebab Speaker yang selalu sebut tentang reformasi kuasa Menteri tukar kepada ke Parlimen.

Terima kasih Speaker. Senyuman itu bererti anggukan sebab saya kawan kepada bapa Speaker.

Okey dan akhir sekali Yang Berhormat iaitu perkara 25, 26 iaitu 50 peratus daripada sumber kewangan ini dibagi minimum, dibagi kepada kerajaan. Tetapi kerajaan boleh meminta lebih dengan bawa usul. Macam usul semalam, usul Timbalan Menteri Kewangan semalam. Kami terperangkap, usul itu cukup besar RM12.5 bilion nak dipindah kepada wang pembangunan, duit daripada sukuk lebih kurang gitu.

Jadi, Parlimen terperangkap dengan satu usul yang besar tapi hanya tiga orang pembahas. Patutnya itulah 20 orang pembahas. Jadi, yang ini kita lihat bahawa wang ini akan diberi minimum. Jadi bill ini bagus. Satu, sebab dia menggunakan perkataan minimum. Hat kelmarin dia buat tidak lebih, dia buat maksimum. Sepatutnya kita guna perkataan minimum. Minimum itu membolehkan kita lebih fleksibel tapi yang bagusnya sebab minimum 50 peratus, selebihnya hendaklah dibawa kepada Parlimen.

Itu yang terbaik bill ini. Yang saya pertikainya tentang kuasa Menteri itu dimasukkan perkataan pelantikan daripada orang awam itu supaya dimasuk perkataan Parlimen. Parlimen pun kuasa Menteri tapi dia indahlah sikit bill ini kalau Menteri dapat supaya masukkan perkataan Parlimen. Perkara pelantikan yang dibuat oleh Menteri 11(d) itu dimasukkan perkataan Parlimen, kecuali (d). Terima kasih.

Kalau macam jawatankuasa pun, saya akan cakap tajuk yang sama Tuan Yang di-Pertua dan kita menyokong bill ini kecuali perkataan kuasa Menteri. Lagipun dalam keadaan politik negara sekarang ini pun, Menteri dah makin kurang dilihat disokong oleh rakyat dah. Rakyat menyokong kami dah. Tak begitu tuan-tuan?

draft • 1:40 PM

Tuan Syahredzan bin Johan - Bangi

Dah habis masa Yang Berhormat.

draft • 1:40 PM

Dato’ Seri Dr. Shahidan bin Kassim - Arau

[Tidak jelas] Terima kasih.

Assalamualaikum.

draft • 1:40 PM

Tuan Syahredzan bin Johan - Bangi

Terima kasih Yang Berhormat Arau.

Seterusnya saya menjemput Yang Berhormat Kluang.

draft • 1:40 PM

Puan Wong Shu Qi - Kluang

Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Salam sejahtera, salam Malaysia MADANI. Terima kasih kerana bagi saya peluang untuk membahas Rang Undang-undang Kumpulan Wang Amanah Negara 2026. Saya menyokong rang undang-undang ini dan ingin menyentuh tiga perkara penting.

Pertama, sebenarnya bagi saya rang undang-undang ini adalah satu paradise shift, dengan izin. Rang undang-undang ini bukan sekadar pembaharuan teknikal, ia mencerminkan falsafah teras Kerajaan MADANI bahawa tugas kita hari ini bukan sahaja untuk generasi sekarang tetapi untuk generasi yang akan mewarisi negara ini selepas kita.

Kerajaan MADANI menyimpan untuk masa hadapan, bukan menghabiskan segala wang untuk masa kini. Inilah yang membezakan kita daripada kerajaan- kerajaan terdahulu yang lebih suka menikmati hasil kekayaan negara tanpa memikirkan beban yang ditinggalkan kepada anak cucu kita.

Dengan rang undang-undang ini, kita melembagakan prinsip keadilan antara generasi, intergenerational justice dengan izin sebagai teras pengurusan kekayaan negara. Ini adalah langkah bersejarah Tuan Yang di-Pertua. Jadi, di sini saya juga ingin memuji bahawa di bawah rang undang-undang baharu ini, kita mengehadkan kumpulan wang hanya boleh diambil, diguna bagi maksud pendidikan, penjagaan kesihatan dan juga mitigasi dan penyesuaian perubahan iklim. Ini adalah bidang yang sangat penting untuk generasi yang akan datang.

Kedua, sumbangan PETRONAS dan pertumbuhan KWAN. Saya difahamkan bahawa rang undang-undang ini akan mewajibkan PETRONAS menyumbang dua percent setiap tahun kepada KWAN. Saya ingin bertanya kepada Yang Berhormat Timbalan Menteri, apakah unjuran pertumbuhan dan dana KWAN dalam tempoh 10 hingga 20 tahun akan datang dengan struktur tadbir urus baharu ini, dengan ada rang undang-undang ini. Unjuran berapa besar amaun wang kita akan kutip berturut- turut bermula sekarang, sehingga 20 tahun yang akan datang.

Kita perlu buat perancangan supaya anak-anak kita, rakyat kita di luar sana mereka dapat satu unjuran yang jelas, berapa kita akan simpan bermula sekarang.

Soalan ini penting kerana PETRONAS adalah aset nasional yang tidak boleh diperbaharui. Apabila petroleum kita habis, apakah yang kita tinggalkan?

Jawapannya mestilah KWAN yang kukuh. Rakyat berhak tahu dengan tadbir urus yang lebih tersusun di bawah rang undang-undang ini. Berapa besarkah dana yang kita jangkakan untuk generasi akan datang?

Ketiga, jaminan terhadap penyalahgunaan. Tuan Yang di-Pertua, walaupun saya menyokong rang undang-undang ini, saya ingin menyuarakan kebimbangan yang saya pasti turut dirasai oleh rakyat di luar sana. Kita sedang membina struktur untuk masa hadapan tetapi sejarah mengajar kita bahawa struktur yang baik sahaja tidak mencukupi. 1MDB juga mempunyai struktur, Tabung Haji juga mempunyai lembaga pengarah, namun kedua-duanya pernah disalah guna, pernah ada masalah.

Maka, saya bertanya kepada Yang Berhormat Timbalan Menteri Kewangan, apakah mekanisme khusus dalam rang undang-undang ini yang memastikan tiada mana-mana kerajaan tak kira siapa jadi Menteri Kewangan atau Perdana Menteri atau sesiapa pemimpin atau individu yang boleh mengeksploitasi dana ini untuk kepentingan peribadi atau melabur secara sewenang-wenangnya. Adakah terdapat peruntukan yang membolehkan semakan bebas oleh Parlimen?

Adakah Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara atau badan bebas lain diberi kuasa penuh untuk mengaudit KWAN secara berkala dan melaporkan terus kepada Dewan ini? Dan kita bukan sahaja membina tabung, kita membina kepercayaan.

Kepercayaan yang penting ini dan kepercayaan itu mesti dijamin bukan hanya oleh niat baik pemimpin hari ini, kerajaan ini tetapi oleh undang-undang yang kuat dan pengawasan yang berterusan.

Tuan Yang di-Pertua, saya menyokong rang undang-undang ini dengan harapan bahawa ia benar-benar menjadi legasi Kerajaan MADANI, sebuah kerajaan yang berfikir jauh, berhemat dengan kekayaan negara dan bertanggungjawab kepada generasi yang belum lahir lagi. Dan yang paling penting sekali kita simpan dan kita semak dan imbang supaya apabila kita berdepan dengan krisis negara, kita ada satu institusi, ada satu mekanisme untuk keluarkan wang ini diguna untuk masa hadapan.

Pada masa yang sama, kita ada satu struktur yang kukuh untuk semak dan imbang supaya wang, dana ini disimpan selama-lamanya dan tidak akan dieksploitasi demi kepentingan peribadi, untuk masa hadapan.

Dan dengan ini saya sokong sepenuhnya untuk Rang Undang-undang Kumpulan Wang Amanah Negara 2026. Sekian, terima kasih.

draft • 1:42 PM

Tuan Syahredzan bin Johan - Bangi

Terima kasih Yang Berhormat Kluang. Seterusnya saya menjemput Yang Berhormat Tuaran. Sila Yang Berhormat.

draft • 1:42 PM

Datuk Seri Panglima Madius bin Tangau - Tuaran

Terima kasih Tuan Yang di-Pertua kerana memberi peluang kepada Tuaran untuk berbahas Rang Undang-undang Kumpulan Wang Amanah Negara 2026. Saya bangun mengambil bahagian dalam perbahasan RUU Kumpulan Wang Amanah Negara 2026. Izinkan saya menyatakan dengan jelas bahawa Tuaran menyokong prinsip penubuhan Kumpulan Wang Amanah Negara.

Bagi Tuaran, sebuah negara yang bertanggungjawab bukan hanya memikirkan pilihan raya yang akan datang tetapi juga memikirkan generasi yang akan datang. Negara yang berwawasan tidak menghabiskan seluruh kekayaannya hari ini, negara yang berwawasan menyimpan sebahagian daripada kekayaannya sebagai amanah untuk anak cucunya. Sebab itulah Tuaran menyokong penubuhan dana ini.

Tetapi Tuan Yang di-Pertua, Tuaran juga ingin mengingatkan Dewan yang mulia ini bahawa amanah bukan sekadar soal kewangan. Amanah juga ialah soal keadilan, amanah kepada Perlembagaan, amanah kepada Persekutuan Malaysia, amanah kepada negeri-negeri yang membentuk Malaysia dan amanah kepada generasi yang akan datang.

draft • 1:48 PM

Datuk Seri Panglima Madius bin Tangau - Tuaran

Atas sebab itu, sokongan Tuaran kepada rang undang-undang ini bukanlah sokongan tanpa syarat. Rang undang-undang ini sebenarnya membawa kita kepada satu persoalan yang lebih besar daripada kewangan. Siapakah pemilik sebenar petroleum? Siapakah pemilik sebenar gas asli? Siapakah pemilik sebenar segala hasil bumi negara ini? Jawapannya mudah bukan kita, kita hanyalah pemegang amanah.

Petroleum yang kita keluarkan hari ini tidak boleh diganti lagi. Gas asli yang kita eksport hari ini tidak akan muncul semula. Mineral yang kita lombong hari ini akan habis satu hari nanti. Sebab itulah hasil daripada sumber-sumber tersebut bukan hak mutlak generasi kita. Ia juga adalah hak generasi yang belum lahir. Inilah yang dipanggil inter-generational equity atau keadilan antara generasi.

Dan inilah falsafah yang mesti menjadi roh kepada rang undang-undang ini, tetapi Tuan Yang di-Pertua, sebagai Ahli Parlimen daripada Sabah, Tuaran ingin mengingatkan Dewan yang mulia ini bahawa terdapat suatu prinsip yang tidak boleh dipisahkan daripada konsep keadilan antara generasi iaitu keadilan antara wilayah dalam Persekutuan Malaysia atau Federal equity.

Sebahagian besar sumber petroleum, sumber asli dan pelbagai sumber yang menyumbang kepada kekayaan negara datang daripada Sabah dan Sarawak. Maka apabila Kerajaan Persekutuan menubuhkan sebuah dana kekayaan negara yang sebahagian besarnya datang daripada hasil sumber tersebut, rakyat Sabah dan Sarawak mempunyai hak untuk bertanya adakah hak-hak Perlembagaan kami terus dihormati?

Tuaran ingin menegaskan bahawa akta ini tidak boleh ditafsirkan atau dilaksanakan sehingga menjejaskan walau seinci pun hak-hak kewangan Sabah dan Sarawak yang dijamin oleh Perkara 112C perkara 112D dan juga Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan serta hendaklah dilaksanakan selaras dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 atau MA63. Hak-hak tersebut bukan ihsan mana-mana Kerajaan Persekutuan, bukan hadiah daripada mana-mana Perdana Menteri, tetapi lahir daripada Perlembagaan Persekutuan iaitu undang-undang tertinggi negara.

Tuan Yang di-Pertua, Tuaran yang mempunyai–– Tuaran juga mempunyai kebimbangan yang serius mengenai struktur tadbir urus yang dicadangkan. Apabila Tuaran membaca rang undang-undang ini, saya mendapati terlalu banyak kuasa tertumpu kepada Menteri. Menteri melantik pengerusi, melantik anggota lembaga, melantik pengurus dana utama, meluluskan strategi pelaburan, memberi arahan kepada Lembaga dan juga mempunyai kuasa membenarkan pengeluaran yang melebihi had biasa.

Persoalan Tuaran sangat mudah. Di manakah semak dan imbang? Undang- undang yang baik tidak dibina berdasarkan keyakinan kepada seorang individu.

Undang-undang yang baik dibina berdasarkan kekuatan institusi. Hari ini mungkin kita mempunyai seorang Menteri yang berintegriti, tetapi undang-undang yang kita luluskan hari ini akan terus berkuat kuasa selepas kita semua tiada lagi.

Sebab itulah institusi mesti lebih kuat daripada individu. Tuaran mencadangkan supaya lembaga ini diperkukuhkan bukan sekadar terdiri daripada individu yang dilantik oleh Menteri, tetapi turut melibatkan tokoh profesional yang benar-benar bebas. Tuaran juga mencadangkan supaya sekurang-sekurangnya seorang wakil dari Sabah dan seorang wakil dari Sarawak diwajibkan menganggotai lembaga. Ini bukan soal politik. Ini soal federalism yang adil dan pengiktirafan terhadap sumbangan negeri pengeluar sumber asli kepada pembentukan dana ini.

Tuaran juga mencadangkan supaya Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara diberi kuasa yang jelas untuk menyemak prestasi dana seperti yang dicadangkan oleh beberapa rakan-rakan sebentar tadi. Laporan tahunan hendaklah di bentang kepada Parlimen. Prestasi pelaburan diumumkan kepada rakyat. Kos pengurusan diperincikan dan risiko pelaburan didedahkan secara telus. Wang yang diuruskan bukan wang kerajaan, ia adalah wang rakyat Malaysia. Ketelusan bukan pilihan, ketelusan adalah syarat kepada kepercayaan.

Tuaran menyambut baik bahawa penggunaan dana dihadkan kepada pendidikan, penjagaan kesihatan serta mitigasi dan penyesuaian perubahan iklim.

Namun saya berpandangan, Tuaran berpandangan bahawa tafsiran terhadap tujuan tersebut hendaklah diperincikan supaya dana ini tidak menjadi sumber pembiayaan alternatif apabila kerajaan menghadapi tekanan fizikal. Sovereign wealth fund bukanlah tabung kecemasan kerajaan. Ia adalah tabung masa depan negara.

Tuan Yang di-Pertua, kita boleh membina bangunan yang tinggi, kita boleh membina lebuh raya yang panjang, kita boleh membina pelbagai projek mega, tetapi legasi sebenar sesebuah generasi bukan terletak pada bangunan yang dibinanya.

Legasi sebenar adalah institusi yang ditinggalkannya.

Jika institusi itu dibina atas asas integriti, keadilan, penghormatan kepada Perlembagaan, maka negara ini akan terus kukuh walaupun kita sudah tiada, tetapi jika institusi itu dibina di atas kuasa politik yang berlebihan, maka generasi akan datang yang akan menanggung akibatnya.

Sebagai Ahli Parlimen daripada Sabah, Tuaran akan terus mempertahankan hak Sabah bukan kerana Tuaran mahu layanan istimewa, tetapi kerana Tuaran mahu Perlembagaan dihormati. Apabila kita mempertahankan Perlembagaan kita sebenarnya mempertahankan Malaysia. Apabila kita mempertahankan hak Sabah dan Sarawak kita sebenarnya mempertahankan asas penubuhan Persekutuan Malaysia. Dan apabila kita mempertahankan hak generasi yang belum dilahirkan kita sebenarnya sedang mempertahankan masa depan negara.

Atas semangat itulah Tuaran menyokong prinsip rang undang-undang ini, tetapi Tuaran menegaskan kerajaan menerima pindaan-pindaan yang memperkukuhkan tadbir urus, menjamin kebebasan institusi, memperluaskan penguasaan Parlimen, mewujudkan penyertaan Sabah dan Sarawak dalam lembaga serta memberikan jaminan yang jelas bahawa hak-hak kewangan Sabah dan Sarawak di bawah Perlembagaan Persekutuan dan MA63 tidak terjejas oleh pelaksanaan akta ini.

Kita bukan sekadar meluluskan satu rang undang-undang kita sedang menentukan sama ada kekayaan negara ini akan diwarisi dengan amanah, dengan adil dan dengan penuh integriti pada generasi Malaysia yang akan datang. Marilah kita membina sebuah Kumpulan Wang Amanah Negara yang menjadi kebanggaan negara, menghormati Perlembagaan, menjunjung semangat MA63 dan menjadi legasi yang dikenang oleh generasi masa akan datang. Sekian, Tuaran mohon menyokong. Terima kasih.

draft • 1:50 PM

Tuan Syahredzan bin Johan - Bangi

Terima kasih Yang Berhormat Tuaran. Itu dia semua pembahas yang ada. Saya kini menjemput Yang Berhormat Menteri untuk menjawab selama 25 minit Yang Berhormat.

draft • 1:50 PM

Timbalan Menteri Kewangan - Tuan Liew Chin Tong

Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Terlebih dahulu saya mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada 14 Ahli Yang Berhormat yang telah mengambil bahagian dalam perbahasan peringkat dasar Rang Undang-undang Kumpulan Wang Amanah Negara 2026.

Saya akan menjawab perkara-perkara yang dibangkit mengikut tema dan saya juga ingin ambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada pengerusi Jawatankuasa Pilihan Ekonomi dan Kewangan iaitu Yang Berhormat Simpang Renggam dan juga kepada Pengerusi BBC Yang Berhormat Sekijang kerana memberi sokongan dan juga meluangkan masa untuk mendengar taklimat dan memberi cadangan termasuk kepada Ahli-ahli Jawatankuasa Pilihan yang hadir pada hari Isnin. Pandangan dan juga maklum balas Ahli-ahli Jawatankuasa Pilihan memang sangat di terima dengan baik dan ada juga dimasukkan dalam ucapan dan juga dalam hujah saya.

RUU ini sebenarnya yang penting ialah kita kena faham bahawa KWAN bukan dana untuk membiayai program atau dana untuk membiayai pembangunan ekonomi. Ini sebenarnya juga bukan definisi seperti sovereign wealth fund kerana sovereign wealth fund kita yang paling penting ialah Khazanah Nasional. Ini sebenarnya simpanan, simpanan jangka panjang dan kalau tak ada apa insiden yang sangat mendesak kita tidak ingin guna dana ini. Kita tidak ingin guna dana ini kalau tidak ada insiden yang sangat mendesak. Dan dalam sejarah 38 tahun wujudnya KWAN, hanya dua kali KWAN digunakan, dana KWAN digunakan sekali untuk projek bayar wet land dan sekali untuk membeli vaksin semasa COVID. Dan ini saya rasa adalah prinsip yang penting kerana dana ini atau kumpulan wang ini bukan untuk kita menggunakannya.

Saya merujuk kepada fasal 24 pengambilan, pengambil guna kumpulan wang hanya boleh diambil guna bagi maksud yang berikut; pendidikan, penjagaan kesihatan, mitigasi dan penyesuaian perubahan iklim dalam keadaan yang mendesak dan kalau melebihi apa yang dihadkan kepada kuasa Menteri kena dibawa ke Parlimen untuk diputuskan oleh Parlimen.

Saya menerima baik cadangan Ahli parlimen Kampar bahawa satu hari nanti kita boleh tingkatkan dua per tiga, tapi untuk akta ini berfungsi buat setakat ini kelulusan Parlimen memadai.

draft • 1:56 PM

Timbalan Menteri Kewangan - Tuan Liew Chin Tong

Beberapa Ahli Yang Berhormat, antaranya Yang Berhormat Pendang, Yang Berhormat Putatan, Yang Berhormat Padang Besar dan Yang Berhormat Arau membangkit isu kadar sumbangan minimum 0.1 peratus dan mekanisme semakan kadar. Saya menegaskan bahawa kadar yang dimuktamadkan adalah kadar minimum. Bermakna kalau sesiapa yang menjadi kerajaan yang kerajaan yang akan datang, membuat keputusan bahawa lebihan ataupun lebih daripada kadar minimum ini, akan disumbang ke dalam KWAN daripada hasil, ini memang baik untuk keadaan. So, ini adalah floor dan bukan siling.

Penetapan kadar dalam akta adalah reka bentuk yang disengajakan, iaitu ini adalah satu obligasi sumbangan kepada simpanan antara generasi atau intergenerational saving, perlu kekal teguh merentasi kitaran fiskal dan kerajaan yang silih berganti. Justeru, kadar tersebut hanya boleh diubah oleh Parlimen sendiri melalui akta pindaan. Mana-mana kerajaan yang ingin mengubahkannya, mesti kembali ke Dewan yang mulia ini. Kerajaan sentiasa boleh dan berhasrat untuk menyumbang melebihi kadar minimum apabila keadaan mengizinkan.

draft • 2:00 PM

Datuk Haji Awang bin Hashim - Pendang

Tuan Yang di-Pertua. Yang Berhormat Menteri, mencelah sikit.

draft • 2:00 PM

Tuan Liew Chin Tong

Ya, Pendang.

draft • 2:00 PM

Datuk Haji Awang bin Hashim - Pendang

Terima kasih Tuan Yang di- Pertua. Terima kasih Yang Berhormat Menteri.

Tadi saya dah bangkitkan berkenaan dengan adakah Kumpulan Wang Amanah Negara ini nak membuka lagi selain daripada PETRONAS yang memang jadi compulsory kepada donation every year, kepada GLC, badan-badan berkanun yang lain, supaya mereka menyumbang, meletakkan sama ada untung sikit atau banyak, tapi letakkan satu persen atau dua persen untuk mereka menyumbang kepada tabung kewangan amanah negara ini. Sekian, terima kasih.

draft • 2:00 PM

Tuan Liew Chin Tong

Terima kasih Yang Berhormat Pendang.

Dalam rang undang-undang ini, telah digariskan untuk mempelbagaikan sumber iaitu dari hanya sumbangan PETRONAS bertambah sekarang ini, dengan 0.1 peratus dari hasil tahunan atau anggaran hasil tahunan Kerajaan Persekutuan dan juga dua peratus daripada hasil dari sumber-sumber menyusut, terutamanya lombong dan lain, tetapi selepas potongan kepada kerajaan negeri.

So, ini adalah usaha rang undang-undang ini, untuk mempelbagaikan sumber dari sumbangan PETRONAS kepada tiga sumber dan juga daripada sumbangan sukarela (voluntary), dari sumbangan sukarela dijadikan dengan rang undang- undang ini dijadikan sumbangan mandatori.

So, ini adalah perubahan yang telah dilakukan melalui rang undang-undang ini, tetapi saya menerima cadangan Yang Berhormat Pendang dengan baik bahawa mungkin selepas ini, kerajaan boleh memandatkan lebih banyak sumbangan daripada GLC dan kalau ada kerajaan negeri yang berhasrat untuk sumbang, juga akan diterima dengan baik. So, ini adalah perubahan undang-undang. Okey.

Bagi kebimbangan Yang Berhormat Batu Gajah mengenai kesan kepada PETRONAS, rang undang-undang ini tidak mengganggu kebebasan Lembaga PETRONAS untuk menentukan jumlah dividen yang dibayar kepada Kerajaan Persekutuan dan itu kekal sepenuhnya budi bicara PETRONAS. Apa yang diwajibkan oleh fasal 4(1)(b) ialah daripada dividen yang diterima oleh Kerajaan Persekutuan, berapa jua jumlahnya, sekurang-kurangnya dua peratus hendaklah disalurkan ke dalam kumpulan wang. Sumbangan itu diambil daripada bahagian Kerajaan Persekutuan sendiri, bukan dikenakan atas PETRONAS.

Yang Berhormat Putatan membangkitkan hak kerajaan negeri termasuk di bawah Perkara 110 Perlembagaan Persekutuan dan tuntutan yang sedang berjalan.

Sumbangan duti eksport dikira selepas ditolak apa-apa penyerahan kepada mana- mana negeri dan sumbangan dividen dikira atas bahagian Kerajaan Persekutuan semata-mata fasal 4(1)(b) dan (c). Hak negeri ditunaikan terlebih dahulu, sebelum dimasukkan kepada dana KWAN dan kumpulan wang hanya menerima bahagian daripada hasil bersih Persekutuan. Apa-apa proses perundingan hasil antara Kerajaan Persekutuan dengan kerajaan-kerajaan negeri yang sedang berjalan tidak terjejas oleh akta ini dan berjalan di landasan sendiri. Manfaat kumpulan wang pula adalah untuk rakyat di setiap negeri.

Yang Berhormat Rantau Panjang pula menyentuh penyertaan negeri pengeluar petroleum. Selain hak negeri yang ditunaikan terlebih dahulu itu, fasal 5 turut membuka ruang kepada mana-mana kerajaan negeri untuk menyumbang secara sukarela kepada kumpulan wang. Manfaat kumpulan wang pula adalah untuk rakyat di setiap negeri.

Mengenai cadangan Yang Berhormat Pendang agar hasil karbon dan mineral strategik baharu dimasukkan, takrif sumber menyusut dalam RUU ini adalah luas.

Maka, apabila duti eksport bagi sumber baharu seperti unsur nadir bumi dikenakan kelak, hasilnya mengalir masuk secara automatik tanpa pindaan. Bagi hasil karbon, rangka dasarnya masih di peringkat pembangunan. Apabila matang, Parlimen boleh memperluas sumber sumbangan melalui pindaan.

Berkenaan dengan poin Yang Berhormat Pendang, berkenaan dengan karbon, carbon tax. Saya rasa, ini memang cadangan yang menarik, yang saya tidak fikir sebelum ini dan apabila kita bincang atau bahas carbon tax, ini adalah cadangan yang baik untuk boleh dipertimbangkan.

Tuan Yang di-Pertua, saya berterima kasih kepada Yang Berhormat Kampar, Yang Berhormat Putatan, Yang Berhormat Padang Besar, Yang Berhormat Batu Gajah, Yang Berhormat Sipitang, yang menyentuh mengenai pengeluaran dan penggunaan dana KWAN.

Saya berterima kasih kepada Yang Berhormat Maran yang menyentuh rejim pengeluaran, khususnya pengalaman pengeluaran RM5 bilion pada tahun 2021 yang dipertikaikan dan sama ada pengeluaran bernilai besar masih boleh diluluskan oleh Menteri tanpa Parlimen. Di bawah Akta 1988, ia memang boleh diluluskan sedemikian di bawah rang undang-undang ini, tidak lagi. Saya memberikan jaminan dan juga penegasan bahawa di bawah rang undang-undang ini, apa yang telah berlaku, tidak lagi boleh berlaku.

Yang Berhormat Sik menyoal bagaimana kadar pulangan benar jangka masa panjang yang dijangka. Asas, asas kepada had pengeluaran ditentukan. Takrif akta adalah kawalan pertama. Kadar pulangan tahunan, dilaraskan untuk inflasi yang dijangka diperoleh daripada pelaburan kumpulan wang dalam tempoh 20 tahun, iaitu fasal 25(5). Asas 20 tahun yang dilaraskan inflasi itu dengan sifatnya adalah jangkaan yang konservatif dan stabil. Ia bukan angka yang boleh dipilih mengikut keadaan tahun semasa bagi membesarkan had pengeluaran.

Dari segi penentuannya, kadar ini berakar pada perumpukan aset strategik atau strategic asset allocation yang diwajibkan menyatakan jangkaan pulangan bagi pelaburan kumpulan wang. Kadar ditentukan oleh Lembaga dan dengan persetujuan Menteri, selaras dengan jangkaan pulangan dalam perumpukan aset strategik yang diluluskan itu, iaitu fasal 27(2) dan (3).

Satu pihak tidak boleh menetapkannya bersendirian dan tatacara boleh diperinci melalui peruntukan-peruntukan di bawah akta. Kadar itu juga boleh diuji oleh Dewan ini setiap tahun terhadap rekod pulangan sebenar kumpulan wang, iaitu purata enam peratus setahun sejak penubuhan.

Izinkan saya terlebih dahulu, menegaskan sifat kumpulan wang ini, menjawab pertanyaan Yang Berhormat Putatan mengenai skop pengambilgunaan bagi pendidikan dan penjagaan kesihatan, serta bagaimana pengeluaran akan ditentukan.

draft • 2:00 PM

Tuan Liew Chin Tong

Kumpulan wang ini adalah dana simpanan, bukan dana perbelanjaan seperti apa yang saya jelas tadi. Kerajaan tidak berhasrat membuat pengeluaran bagi keperluan yang telah pun diperuntukkan melalui belanjawan tahunan sama ada perbelanjaan mengurus mahupun pembangunan.

Kumpulan wang atau KWAN adalah bagi keperluan luar jangka dalam tiga maksud yang termaktub atau menetapkan maksud pada tahap prinsip dan peraturan-peraturan khusus akan dikeluarkan di bawah fasal 33(2)(a) bagi mengawal tatacara pengeluaran dan penggunaan secara terperinci. Menteri dilarang meluluskan permohonan di luar tiga maksud, setiap pengeluaran wajib didedahkan dan setiap penerima wajib melaporkan penggunaan serta hasilnya sehingga wang habis digunakan mengikut fasal 26.

Yang Berhormat Putatan turut bertanya sama ada penggunaan bagi pendidikan dan kesihatan akan melibatkan penentuan dasar di peringkat kementerian berkenaan, kedudukan jelas kumpulan wang atau pun KWAN ialah sumber pembiayaan dan bukan penentu dasar. Dasar pendidikan dan kesihatan negara kekal terletak pada kementerian yang bertanggungjawab dalam menetapkan kriteria dan tatacara pengeluaran melalui peraturan-peraturan di bawah fasal 33(2)(a).

Yang Berhormat Kampar sambil menyokong had 50 peratus itu mencadangkan supaya ketetapan Dewan Rakyat bagi penggunaan melebihi had memerlukan sekurangnya dua pertiga undi— okey ini saya telah jawab.

Terdapat enam Ahli Yang Berhormat yang membangkitkan persoalan tadbir urus seperti saiz dana KWAN yang jangka panjang dan kuasa Menteri dan integriti badan baru iaitu Yang berhormat Pendang, Yang Berhormat Sik, Yang Berhormat Padang Besar, Yang Berhormat Maran, Yang Berhormat Batu Gajah dan Yang Berhormat Sipitang, Yang berhormat Kluang.

Yang Berhormat Sik bertanya sama ada RUU ini menjamin amanah antara generasi dan mengapa saiz jangka panjang kumpulan wang tidak ditetapkan dalam akta. Buat pertama kalinya Tuan Yang di-Pertua, simpanan generasi akan datang diberi perlindungan berkanun. Sebelum ini tidak ada. Dengan sumbangan diwajibkan penggunaan terhad kepada tiga maksud dan had tahunan termaktub dan apa-apa yang melebihinya memerlukan ketetapan Dewan Rakyat.

Oleh sebab pengeluaran tidak boleh melebihi separuh daripada kadar pulangan benar jangka masa panjang yang dijangka, sekurang-kurangnya separuh daripada pulangan benar kekal terkompaun dalam kumpulan wang setiap tahun dan kumpulan wang dijangka terus berkembang dari segi nilai benar walaupun pada tahap pengeluaran maksimum.

Saiz sasaran yang tetap pula tidak dimaktubkan kerana reka bentuk akta ini berskala, sumbangan ditetapkan sebagai peratusan hasil dan had pengeluaran sebagai peratusan pulangan. Maka rangka ini kekal relevan sama ada kumpulan wang bernilai RM20.43 bilion seperti hari ini atau jauh lebih besar kelak. Mana-mana perubahan parameter hanya boleh dibuat oleh Parlimen melalui pindaan.

Saya ingin jelas kepada semua yang tadi bincang tentang sasaran atau pun saiz. Sukar untuk kita menentukan saiz dan pihak Bank Negara sebagai pengurus wang juga tidak ingin memberikan satu sasaran kerana ia bergantung kepada saiz hasil kerajaan, saiz hasil PETRONAS dan saiz hasil duti eksport yang kita kutip.

Maka lebih baik kita tidak beri satu angka yang tidak tentu, tetapi formula telah didedahkan dengan rang undang-undang ini.

Soalan berkenaan dengan peranan. Ada yang bincang berkenaan dengan PAC, peranan PAC dan juga peranan Parlimen.

Untuk makluman Yang Berhormat, akauntabiliti kepada Parlimen di bawah RUU ini sudah pun menyeluruh. Akaun, audit dan laporan tahunan dibentangkan ke dua-dua majlis setiap tahun dan tiada apa-apa yang di dalam akta ini yang menghalang mana-mana Jawatankuasa Parlimen sedia ada daripada meneliti hal ehwal kumpulan wang mengikut bidang kuasa masing-masing. Bermakna kalau PAC ingin membuat siasatan, PAC berhak untuk membuat siasatan.

Malah kerajaan telah pun memberikan taklimat kepada jawatankuasa pilihan khas berkaitan sebelum ini seperti apa yang saya sebut tadi. Yang Berhormat Simpang Renggam baru sampai, saya ucap terima kasih semasa saya mulai ucapan ini. Saya ucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Simpang Renggam sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Ekonomi dan Kewangan dan saya rasa lebih baik kita ada lebih banyak perbincangan dan tidak ada apa yang menghalang laporan ataupun audit ataupun pembentangan taklimat oleh Kumpulan Wang Amanah Negara kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Ekonomi dan Kewangan.

draft • 2:10 PM

Tuan Rushdan bin Rusmi - Padang Besar

Yang berhormat Menteri, Padang Besar. Tuan Yang di-Pertua. Adakah Yang Berhormat Menteri setuju sebab ini melibatkan wang simpanan negara, jadi bukan sahaja PAC atau pun pihak jawatankuasa sahaja, patut mungkin dimasukkan di dalam peruntukan agar dibentangkan di Parlimen mungkin setiap lima tahun sekali untuk semak dan imbang?

Dan adakah Yang berhormat Menteri boleh memberi jaminan mana-mana kerajaan selepas ini termasuk kami lah, selepas ini, kenapa Zahar [Ketawa] Tidak menggunakan wang ini sebagai tabung emergency sesuka hati sebab kita tengok dari segi itu apakah langkah yang Menteri ambil untuk hendak agar perkara itu tidak berlaku? Sekian, terima kasih.

draft • 2:10 PM

Tuan Liew Chin Tong

Terima kasih Yang berhormat. Satu ialah laporan tahunan dibentangkan kepada Parlimen. Sebenarnya setiap tahun KWAN perlu...

draft • 2:10 PM

Tuan Rushdan bin Rusmi - Padang Besar

Maksud saya, Menteri dimasukkan di dalam peruntukan itu juga.

draft • 2:10 PM

Tuan Liew Chin Tong

Setiap tahun memang kena membentangkan laporan,

draft • 2:10 PM

Tuan Rushdan bin Rusmi - Padang Besar

Okey, setuju.

draft • 2:10 PM

Tuan Liew Chin Tong

Setiap tahun perlu dibentang di Parlimen dan Parlimen boleh memilih untuk memutuskan bahawa satu perbahasan harus diadakan. Parlimen boleh arah jawatankuasa atau jawatankuasa boleh membuat apa sahaja siasatan atau pengauditan.

Untuk jawab soalan Yang Berhormat tadi, sebenarnya itulah hasrat dan tujuan atau objektif rang undang-undang ini. Objektif rang undang-undang ini ialah untuk mengetatkan pengeluaran supaya pengeluaran hanya boleh daripada apa yang diperolehi pada tahun itu dengan kadar separuh sahaja. Dan apa yang melebihi separuh mesti dibawa ke Parlimen untuk diputuskan oleh Parlimen.

draft • 2:10 PM

Datuk Seri Panglima Madius bin Tangau - Tuaran

Yang berhormat, boleh saya tanya sikit pasal peranan Parlimen itu tadi?

draft • 2:10 PM

Tuan Liew Chin Tong

Ada beberapa bertanya berkenaan dengan— silakan.

draft • 2:10 PM

Datuk Seri Panglima Madius bin Tangau - Tuaran

Okey, kesemua laporan-laporan agensi kerajaan diwajibkan untuk membentangkan di Dewan Rakyat ini. Dan bila dibentangkan dia lay on the table sahaja. Hanya apabila kerajaan yang sekarang ini laporan seperti SUHAKAM diminta untuk dibahaskan. Jadi bererti bahawa kalau dia tidak ada provision dalam rang undang-undang ini termasuk dalam undang-undang untuk perlu dibahaskan dan dia tidak akan dibahaskan. Dan kadang- kadang dia letak dia punya laporan di sini, apatah lagi dalam bentuk digital, dilupakan begitu sahaja.

Jadi, adakah Yang Berhormat wajar untuk ini sebab ia penting. Oversight Parlimen bentuk ini sebab dimasukkan dalam pertimbangan untuk masukkan dalam rang undang-undang ini. Terima kasih.

draft • 2:10 PM

Tuan Liew Chin Tong

Terima kasih. Cadangan Yang Berhormat Tuaran.

Tuan Yang di-Pertua, boleh perbetulkan saya kalau tidak silap saya Undang-undang SUHAKAM juga tidak memastikan perbahasan. Perbahasan adalah keputusan Dewan dan keputusan Speaker Dewan Rakyat. Maka keadaan ini sama jikalau keputusan Speaker ialah untuk laporan tahunan dibahaskan, ia akan berlaku bersama dengan keadaan SUHAKAM.

draft • 2:10 PM

Tuan Liew Chin Tong

Saya ingin sentuh berkenaan dengan kuasa Menteri. Sebenarnya, rang undang-undang ini mengehadkan kuasa-kuasa Menteri dan sebarang kuasa yang diberikan kepada Menteri dalam rang undang-undang ini bersama dengan kuasa yang diberi kepada Menteri untuk KWSP, untuk KWAP dan untuk lembaga-lembaga yang lain.

Dan sebenarnya, kuasa Menteri telah digariskan dan dihadkan melalui rang undang-undang ini. So, saya tak faham apa yang Arau sebutlah, tapi kalau cara yang— atau pendekatan untuk masa depan yang dipersetujui oleh dua pihak - oleh semua pihak dalam Parlimen ini, mungkin masa depan itu cara baru, maka saya tak ada masalah, tapi buat setakat ini, memang ini berpatuhan dengan semua precedent yang ada dalam sistem kita dan dia juga best practices yang telah diadakan, diwujudkan dalam sistem kita.

Tuan Yang di-Pertua, kesinambungan institusi turut terjamin, di mana anggota panel sedia ada disifatkan dilantik sebagai lembaga dengan tempoh perkhidmatan lalu diambil kira, fasal 38. Bank Negara Malaysia meneruskan pentadbiran dalam tempoh peralihan mengikut fasal 42 dan oleh sebab kumpulan wang tidak mempunyai kakitangan sendiri, tiada isu pemindahan pekerja timbul.

Mengikut fasal 1(2), akta ini mula berkuat kuasa pada tarikh yang ditetapkan oleh Menteri melalui pemberitahuan dalam warta. Hasrat kerajaan ialah menetapkan tarikh tersebut apabila persediaan operasi, termasuk peraturan-peraturan di bawah fasal 33 dan perumpukan aset strategik pertama di bawah fasal 27 telah lengkap bagi mengelakkan sebarang jurang operasi.

Yang Berhormat Pendang menyoal penanda asas yang akan ditetapkan.

draft • 2:20 PM

Tuan Syahredzan bin Johan - Bangi

YB Menteri.

draft • 2:20 PM

Tuan Liew Chin Tong

Ya.

draft • 2:20 PM

Tuan Syahredzan bin Johan - Bangi

Perlukan berapa masa lagi?

draft • 2:20 PM

Tuan Liew Chin Tong

Tiga minit.

draft • 2:20 PM

Tuan Syahredzan bin Johan - Bangi

Baik. Tiga minit lagi.

draft • 2:20 PM

Tuan Liew Chin Tong

Yang Berhormat Pendang menyoal penanda aras yang ditetapkan, termasuk perbandingan dengan dana-dana antarabangsa di bawah akta. Lembaga diwajibkan menggubal dasar pelaburan, menetapkan penanda asas serta piawaian prestasi dan risiko dan memantau pematuhannya mengikut fasal 12(1)(d).

Penanda asas ini berpaksikan jangkaan pulangan dan had toleransi risiko bagi setiap kelas aset dalam perumpukan aset strategik yang diluluskan.

Perbandingan dengan tabung antarabangsa pula perlu mengambil kira mandat dan profil risiko yang berbeza antara tabung. Ukuran yang saksama ialah prestasi terhadap penanda aras dan mandat kumpulan wang sendiri dan Ahli-ahli Yang Berhormat dapat menilainya melalui laporan tahunan yang dibentangkan di Parlimen.

Tuan Yang di-Pertua, mengakhiri penggulungan ini, sukacita sekali lagi saya merakamkan penghargaan atas pandangan dan input Ahli-ahli Yang Berhormat sepanjang perbahasan Rang Undang-undang KWAN ini. Cadangan-cadangan penambahbaikan akan diambil kira semasa kerajaan menyediakan peraturan- peraturan dan garis panduan di bawah akta ini. Rang undang-undang ini adalah janji kita kepada generasi yang belum lahir bahawa sebahagian daripada kekayaan sumber asli yang kita nikmati hari ini akan dipelihara, dilaburkan dan dikembangkan untuk mereka dengan sumbangan yang diwajibkan undang-undang, pengeluaran yang berdisiplin, tadbir urus yang berintegriti dan kunci muktamad di tangan Dewan Rakyat ataupun di Dewan Parlimen yang mulia ini.

Kumpulan Wang Amanah Negara akan berdiri sebagai simpanan bersama seluruh rakyat Malaysia untuk generasi sekarang dan masa hadapan. Hari ini Dewan yang mulia ini berpeluang menunaikan amanah antara generasi itu. Saya menyeru semua Ahli-ahli Yang Berhormat menyokong rang undang-undang ini. Sekian, terima kasih.

draft • 2:20 PM

Tuan Syahredzan bin Johan - Bangi

Terima kasih Yang Berhormat Menteri. Ahli-ahli Berhormat, sekarang saya kemukakan masalah kepada Majlis bagi diputuskan. Masalahnya ialah bahawa rang undang-undang ini dibacakan kali yang kedua sekarang.

[Masalah dikemukakan bagi diputuskan; dan disetujukan] [Rang undang-undang dibacakan kali yang kedua dan diserahkan kepada Dewan sebagai Jawatankuasa] [Majlis bersidang dalam Jawatankuasa] [Tuan Syahredzan bin Johan (Bangi) mempengerusikan Jawatankuasa****] [Fasal-fasal dikemukakan kepada Jawatankuasa] [****Fasal-fasal 1 hingga 44 diperintahkan jadi sebahagian daripada rang undang-undang] [Rang undang-undang dimaklumkan kepada Majlis sekarang] [Majlis Mesyuarat bersidang semula] [Tuan Syahredzan bin Johan (Bangi) ***mempengerusikan Mesyuarat****] [Rang undang-undang dilaporkan dengan tidak ada pindaan; dibacakan kali yang ketiga, disokong oleh Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri

(Tuan Sim Tze Tzin) dan diluluskan]*

draft • 2:20 PM
RANG UNDANG-UNDANG STATISTIK 2026

Bacaan Kali Yang Kedua dan Ketiga Tuan Syahredzan bin Johan - Bangi

Dipersilakan Yang Berhormat Menteri untuk mengemukakan rang undang-undang ini.

draft • 2:20 PM

Menteri Ekonomi - Tuan Haji Akmal Nasrullah bin Mohd Nasir

Tuan Yang di-Pertua, saya mohon mencadangkan iaitu rang undang-undang bernama suatu Akta Statistik 2026 di bacakan kali yang kedua sekarang.

Tuan Yang di-Pertua, Rang Undang-undang Statistik 2026 yang akan saya bentangkan bertujuan untuk perkara-perkara berikut:

Pertama, menggantikan Akta Perangkaan 1965, yakni [Akta 415] bagi mewujudkan satu kerangka perundangan yang lebih moden, komprehensif dan selaras dengan perkembangan ekonomi ataupun ekosistem data dan statistik semasa.

Kedua, memperkukuh tadbir urus sistem statistik negara melalui penubuhan mekanisme penyelarasan yang berkesan bagi memastikan statistik rasmi negara dihasilkan secara terancang, bersepadu dan memenuhi keperluan pengguna.

Ketiga, menyelaras aktiviti statistik, termasuk penggunaan konsep definisi, klasifikasi, metodologi, statistik dan standard bagi meningkatkan kualiti, kebolehpercayaan, kebolehbandingan dan integriti statistik rasmi.

draft • 2:28 PM

Menteri Ekonomi - Tuan Haji Akmal Nasrullah bin Mohd Nasir

Keempat, memastikan kerahsiaan maklumat yang diperoleh bagi tujuan statistik dilindungi seperti yang diperuntukkan oleh undang-undang.

Kelima, memperkukuh pelaksanaan dasar, perancangan, pemantauan dan penilaian program pembangunan negara melalui penyediaan statistik yang berkualiti dan berasaskan bukti.

Dan keenam, mengadakan peruntukan-peruntukan lain yang berkaitan dengannya.

Akta Perangkaan 1965 [Akta 415] telah digubal berdasarkan senario dan keperluan pada ketika itu. Sehingga kini, Akta 415 telah diguna pakai bagi tempoh yang panjang iaitu selama 61 tahun. Sepanjang tempoh tersebut, Malaysia telah melalui transformasi sosial, ekonomi dan juga teknologi yang pesat. Justeru, perundangan yang dikemas kini dan moden membolehkan penghasilan data dan statistik yang menggambarkan keadaan semasa negara dengan lebih tepat merangkumi bidang sosial, ekonomi dan juga alam sekitar.

Selain itu, penghasilan statistik pada masa kini tidak hanya bergantung sepenuhnya kepada banci dan tinjauan yakni, dengan izin, survey, sebaliknya turut memanfaatkan data pentadbiran, data geospatial dan sumber data baharu yang semakin berkembang. Perubahan ini memerlukan suatu kerangka perundangan yang lebih komprehensif dan fleksibel bagi membolehkan pengeluaran statistik rasmi dilaksanakan dengan lebih cekap, tepat pada masanya dan responsif kepada keperluan pengguna.

Pada masa yang sama, peningkatan permintaan terhadap data dan statistik yang berkualiti oleh pemegang taruh menuntut agar statistik rasmi negara dihasilkan mengikut standard yang lebih tinggi serta selaras dengan prinsip dan amalan terbaik antarabangsa. Keperluan ini menjadi semakin penting dalam konteks pembuatan keputusan berasaskan bukti, pemantauan prestasi pembangunan negara serta pelaporan komitmen Malaysia di peringkat serantau dan antarabangsa.

Penggubalan RUU Statistik 2026 ini adalah berpandukan kepada saranan, garis panduan dan juga amalan terbaik antarabangsa yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), United Nations Statistical Commission

(UNSC) dan United Nations Economic Commission for Europe (UNECE). Prinsip- prinsip ini menekankan keperluan statistik rasmi yang berkualiti, berintegriti, boleh dipercayai serta disokong oleh kerangka perundangan yang mantap.

Cadangan penggubalan RUU ini turut mengambil kira pelbagai keputusan dasar kerajaan dan kajian strategik yang telah dilaksanakan sejak tahun 2016 termasuk Strategic Review of Malaysia Statistical System, dengan izin, oleh Bank Dunia, keputusan majlis ekonomi, pengukuhan sistem statistik negara, penubuhan Majlis Statistik Negara serta aspirasi yang digariskan dalam Rancangan Malaysia Kedua Belas.

Dalam menyediakan RUU ini, sebanyak tujuh sesi libat urus telah diadakan bersama kementerian, jabatan, kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan, institusi akademik, pemain industri dan pihak swasta yang melibatkan seramai 510 peserta.

Maklum balas yang diterima secara umumnya menyokong usaha memperkukuh penyelarasan statistik negara, memperluas penggunaan data pentadbiran serta meningkatkan perkongsian data yang lebih sistematik dan berkesan.

RUU Statistik 2026 ini juga adalah selaras dengan kuasa berhubung perkara- perkara statistik, banci, tinjauan dan urusan berkaitan pentadbiran Kerajaan Persekutuan di bawah Butiran 12 Senarai Pertama Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.

Kerangka perundangan yang dicadangkan ini bertujuan untuk memastikan pengurusan statistik rasmi negara dilaksanakan secara sistematik dan memenuhi keperluan pembangunan negara. Pengalaman negara berhadapan dengan krisis COVID-19 menunjukkan bahawa data yang lengkap, tepat dan bersepadu merupakan asas kritikal dalam menyokong proses untuk kita membuat keputusan yang pantas berasaskan bukti dan juga bersasar.

Dalam tempoh krisis tersebut, kerajaan berdepan cabaran besar untuk mengenal pasti kumpulan sasar yang benar-benar terkesan akibat sekatan pergerakan dan juga gangguan rantaian bekalan khususnya isi rumah berpendapatan rendah, pekerja sektor tidak formal serta perniagaan mikro dan juga kecil. Selain itu, keperluan untuk memantau impak ekonomi dan sosial secara hampir masa nyata dan granular turut menuntut kapasiti sistem statistik negara yang lebih bersepadu.

Sehubungan dengan itu, terdapat keperluan untuk memperkukuh ekosistem perkongsian data dan penyelarasan statistik di peringkat nasional termasuk melalui integrasi data pentadbiran antara agensi, standard statistik serta pengukuhan peranan pejabat statistik negara ataupun, dengan izin, national statistic office (NSO) sebagai penyelaras utama.

Secara keseluruhannya, Jabatan Statistik Malaysia sebagai sebuah NSO telah memperlihatkan perubahan ketara dalam penyediaan statistik rasmi melalui pendekatan digital, terbuka, responsif dan berorientasikan keperluan dasar.

Kejayaannya dapat dilihat melalui pengurusan krisis, pelaksanaan banci berskala besar, pendigitalan, penyebaran data, pengukuhan sistem statistik negara, penghasilan statistik granular dan pengiktirafan antarabangsa.

Antara inisiatif berimpak tinggi yang telah dicapai ialah― Pertama, peningkatan liputan indikator Matlamat Pembangunan Mampan

(SDG) daripada 41 peratus, yakni 99 indikator, pada 2018 kepada 84 peratus, iaitu 205 indikator, pada 2024. Ini menunjukkan komitmen Malaysia dalam merealisasikan agenda 2030 untuk mencapai keseimbangan dalam tiga dimensi pembangunan mampan iaitu sosial, ekonomi dan alam sekitar.

Kedua, peluasan statistik daripada peringkat nasional dan negeri kepada kawasan yang lebih kecil seperti daerah pentadbiran, Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN). Statistik terperinci meliputi dimensi sosial, ekonomi dan alam sekitar dipaparkan melalui penerbitan statistik sub nasional Parlimen dan DUN.

Statistik ini menjadi input dalam perancangan yang lebih bersasar membolehkan kerajaan melaksanakan penelitian pembangunan negeri yang lebih terangkum dalam memperkasa dan merangka peruntukan kewangan negara.

Dan ketiga, Banci Pertanian 2024 pula menyediakan garis dasar baharu untuk perancangan keterjaminan makanan, pembangunan agromakanan, bantuan kepada pengusaha serta pemantauan produktiviti sektor pertanian.

Jabatan Statistik Malaysia ketika ini sedang melaksanakan Banci Ekonomi 2026 bagi menyediakan asas baharu untuk mengukuh perubahan struktur ekonomi.

Ia turut menggambarkan peranan penting data sebagai asas kepada kesejahteraan rakyat dan pembangunan ekonomi yang inklusif bagi semua rakyat Malaysia.

Pengumpulan data bermula Januari hingga Oktober 2026 meliputi 1.34 juta pertubuhan ekonomi.

Sementara itu, beberapa lagi inisiatif yang akan dilaksanakan adalah Survei Pendapatan Perbelanjaan Isi Rumah dan Kemudahan Asas akan bermula pada Januari 2027. Survey ini telah dilaksanakan sejak tahun 1957. Pelaksanaan survey ini penting bagi menyediakan input mengenai kedudukan ekonomi dan taraf hidup isi rumah seterusnya menyokong penyasaran bantuan, penilaian dasar pembasmian kemiskinan, pemantauan kos sara hidup, perancangan pembangunan wilayah dan pengukuran kesejahteraan rakyat.

Dan juga, Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia akan dilaksanakan pada 2030 untuk mengumpul stok dan profil ataupun profil penduduk dan perumahan negara bagi tujuan pembangunan negara dan kepentingan rakyat pada masa hadapan. Maklumat terperinci ini juga akan digunakan untuk perancangan dan keputusan berkaitan perkhidmatan dan fasiliti awam sehingga di peringkat lokaliti.

Puan Yang di-Pertua, mungkin saya huraikan secara ringkas berkenaan dengan fasal-fasal yang terkandung dalam RUU Statistik ini.

Iaitu, Bahagian I – Permulaan.

Fasal 1 berkaitan dengan tajuk dan juga permulaan kuat kuasa.

Fasal 2 yang bertujuan untuk mengadakan peruntukan bahawa akta yang dicadangkan hendaklah mengikat Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.

Fasal 3 berkaitan tafsiran.

Bahagian II – Jabatan Statistik Malaysia.

draft • 2:30 PM

Menteri Ekonomi - Tuan Haji Akmal Nasrullah bin Mohd Nasir

Fasal 4 menerangkan peruntukan bagi pelantikan dan sebagainya.

Fasal 5 fungsi Jabatan Statistik Malaysia.

Fasal 6 berkaitan perwakilan kuasa.

Bahagian III adalah berkaitan dengan Majlis Statistik Negara, yang mana fasal 7 berkaitan penubuhan Majlis Statistik Negara.

Fasal 8 menerangkan bagaimana Majlis ini boleh mengundang mana-mana orang untuk menghadiri mesyuarat.

Fasal 9 berkaitan dengan fungsi Majlis; dan Fasal 10 berkaitan dengan mesyuarat Majlis; dan Fasal 11 berkenaan dengan jawatankuasa yang boleh diwujudkan.

Manakala Bahagian IV berkaitan dengan pengumpulan, penerbitan dan komunikasi data.

Fasal 12 berkaitan dengan arahan untuk mengemukakan data.

Fasal 13 adalah berkaitan dengan permintaan bagi data yang mana memperuntukkan untuk Ketua Perangkawan boleh meminta apa-apa data daripada mana-mana entiti kerajaan itu melalui notis bertulis untuk supaya ketua entiti kerajaan itu untuk mengemukakan data itu.

Fasal 14 berkaitan dengan penerbitan dan komunikasi data dan statistik.

Bahagian V perkara am. Melibatkan fasal 15, obligasi kerahsiaan.

Fasal 16 berkenaan dengan guaman dan juga prosiding undang-undang.

Fasal 17 berkaitan dengan tanggungan pengarah dan sebagainya, berkaitan dengan syarikat. Manakala Fasal 18 berkaitan dengan kuasa untuk membuat peraturan-peraturan.

Fasal 19 kuasa untuk kita keluarkan arahan pekeliling dan garis panduan oleh Ketua Perangkawan.

Fasal 20 berkaitan dengan pendakwaan dengan keizinan ataupun yang dicadangkan oleh Pendakwa Raya.

Bahagian VI berkaitan dengan pemansuhan yang mana fasal 21 kita adakan supaya dengan ada akta ini akan memansuhkan Akta Perangkaan 1965. Dan juga fasal 22 berkaitan dengan kecualian.

Jadi Ahli-ahli Yang Berhormat, RUU Statistik 2026 ini yang dicadangkan merupakan suatu langkah pembaharuan yang signifikan dalam kita memperkukuh tadbir urus sistem statistik negara secara menyeluruh. Melalui penubuhan Majlis Statistik Negara, satu platform penyelarasan yang lebih berstruktur dan berwibawa dapat diwujudkan bagi memastikan pembangunan statistik dan data negara dilaksanakan secara lebih tersusun, strategik dan bersepadu.

Selain itu, RUU ini akan memperkukuh fungsi penyelarasan statistik negara untuk menyelaras konsep, definisi, standard, kod, klasifikasi dan metodologi statistik yang digunakan oleh kementerian, jabatan dan agensi kerajaan. Penyelarasan yang menyeluruh ini akan memastikan statistik yang dihasilkan adalah konsisten, seragam dan boleh dibandingkan.

Pada masa yang sama, ia akan meningkatkan keboleh bandingan statistik Malaysia di peringkat antarabangsa selaras dengan piawaian dan amalan terbaik global. Keadaan ini amat penting untuk kita bagi tujuan penandaarasan, pemantauan prestasi, analisis trend serta penilaian keberkesanan dasar dan program pembangunan negara. Penggubalan RUU Statistik 2026 ini juga adalah selaras dengan era pendigitalan yang menuntut pendekatan yang lebih moden dan komprehensif dalam pengurusan statistik rasmi negara.

Sehubungan itu, RUU Statistik 2026 ini akan memanfaatkan penggunaan data pentadbiran dan data raya yang relevan bagi tujuan penyediaan statistik rasmi negara tertakluk kepada peruntukan kerahsiaan dan perlindungan data yang ditetapkan.

RUU Statistik ini juga turut memperkukuh perlindungan kerahsiaan data selaras dengan United Nations Fundamental Principles of Official Statistics dengan izin, yang mengiktiraf kerahsiaan sebagai salah satu prinsip teras statistik rasmi.

Semua data yang diperoleh adalah bagi tujuan penghasilan statistik rasmi negara dan tertakluk kepada peruntukan undang-undang yang ketat.

Jaminan kerahsiaan ini penting bagi memelihara kepercayaan responden serta memastikan statistik rasmi negara terus dihasilkan secara profesional dan berintegriti. Sesungguhnya, RUU Statistik 2026 ini merupakan satu reformasi institusi yang penting dalam memperkukuh sistem statistik negara agar lebih berdaya tahan, berintegriti dan relevan dengan keperluan terkini.

[Timbalan Yang di-Pertua (Puan Alice Lau Kiong Yieng) **mempengerusikan Mesyuarat****] Ia akan menjadi pemangkin kepada pembudayaan penggunaan data dan statistik dalam pembuatan keputusan sekali gus menyokong aspirasi kerajaan untuk membangunkan sebuah negara yang progresif, inklusif dan berteraskan bukti dalam setiap aspek perancangan dan pelaksanaan dasar. Dengan ini Puan Yang di-Pertua, saya mohon mencadangkan.

draft • 2:40 PM

Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng

Ada sesiapa yang menyokong?

draft • 2:40 PM

Timbalan Menteri Ekonomi - Dato’ Indera Mohd Shahar bin Abdullah

Tuan Yang di-Pertua, saya mohon menyokong.

draft • 2:40 PM

Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng

Ahli-ahli Yang Berhormat, masalah di hadapan Majlis ialah rang undang-undang bernama suatu akta untuk mengadakan peruntukan bagi fungsi Jabatan Statistik Malaysia, penubuhan Majlis Statistik Negara, perkara yang berkaitan dengan data dan statistik dan perkara lain yang berkaitan dibacakan kali yang kedua sekarang dan terbuka untuk di bahas. Senarai pembahas adalah seperti berikut.

YB Balik Pulau, YB Pendang, YB Bachok, YB Betong, YB Kangar, YB Kuala Langat, YB Kepong, YB Temerloh, YB Kulim-Bandar Baharu, YB Bakri, YB Kuala Krai, YB Tanjong Karang, YB Tuaran, YB Pasir Salak, YB Langkawi, YB Batu Gajah, YB Tumpat, YB Kapar, YB Beruas dan YB Beaufort. Setiap pembahas diberi masa lima minit sahaja.

Saya jemput Yang Berhormat Balik Pulau.

draft • 2:40 PM

Dato' Muhammad Bakhtiar bin Wan Chik - Balik Pulau

Terima kasih Timbalan Yang di-Pertua, terima kasih juga untuk memberi laluan Balik Pulau membahaskan RUU Statistik 2026. Hari ini kita hidup dalam dunia yang sering digambarkan dengan ungkapan, ‘data is the new oil’ ataupun ‘data is king’. Dalam era kecerdasan buatan (AI), ekonomi digital dan ledakan maklumat, kekuatan sesebuah negara bukan lagi hanya bergantung kepada sumber asli atau modal kewangan, tetapi juga kepada keupayaan menghasilkan data yang sahih, tepat, boleh dipercayai dan dikeluarkan tepat pada masanya.

Tanpa data yang berkualiti, dasar kerajaan hanyalah andaian. Tanpa statistik rasmi yang diyakini, keputusan yang dibuat berisiko tersasar daripada realiti. Sebab itulah, saya melihat pembentangan Rang Undang-undang Statistik pada hari ini amat bertepatan dengan keperluan negara. Statistik bukan sekadar angka, ia menjadi asas kepada penyediaan belanjawan negara, pengagihan subsidi bersasar, perancangan pembangunan, pengukuran kemiskinan, pasaran buruh, inflasi, produktiviti dan penilaian keberkesanan setiap dasar kerajaan.

Malah, Jabatan Perangkaan Malaysia sendiri mengangkat misi untuk memperkukuh evidence based decision making kerana dasar yang baik hanyalah boleh dibina berasaskan data yang berkualiti dan berintegriti. Dalam dunia yang dibanjiri maklumat berita palsu dan data yang di manipulasi, rakyat semakin memerlukan satu sumber statistik rasmi yang bebas, profesional dan dipercayai.

Oleh itu, Akta Statistik bukan sekadar undang-undang pentadbiran, tetapi merupakan satu instrumen penting untuk memperkukuh tadbir urus negara, meningkatkan keyakinan pelabur serta memastikan setiap dasar awam digubal berdasarkan fakta bukan persepsi.

Justeru, saya menyokong hasrat kerajaan untuk memperkukuh ekosistem statistik negara agar Malaysia terus melangkah sebagai sebuah negara yang membuat keputusan berasaskan bukti, evidence based policy making sejajar dengan aspirasi menjadi negara maju dan berdaya saing. Di kesempatan ini juga, saya ingin merakamkan penghargaan kepada mantan Menteri Ekonomi iaitu merangkap mantan Ahli Parlimen Pandan, Dato’ Seri Rafizi Ramli dan juga mantan Ketua Perangkawan Negara, Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin yang baru bersara minggu lepas.

Mereka ini adalah penggerak utama dalam mencetuskan dan memulakan usaha penggubalan rang undang-undang ini. Inisiatif mereka menunjukkan komitmen untuk meletakkan data sebagai asas utama dalam pembentukan dasar negara.

Yang di-Pertua, saya menyambut baik cadangan sebuah Jabatan Perangkaan Malaysia ini dikenali sebagai Jabatan Statistik Malaysia (DOSM).

Penjenamaan ini bukan sekadar pertukaran nama, tetapi mencerminkan peranan yang lebih luas sebagai sistem statistik negara. ‘DOSM is awesome’, okey. Saya juga menyokong cadangan supaya Ketua Perangkawan Negara yang baru dilantik, 15 Julai, dilantik berdasarkan kelayakan akademik dan pengalaman profesional yang tinggi dalam bidang statistik, ekonomi, sains data, matematik dalam bidang berkenaan.

Keperluan sekurang-kurangnya mestilah mempunyai 20 tahun pengalaman termasuk kepakaran dalam statistik serta pelaksanaan banci dan tinjauan peringkat kebangsaan bagi memastikan institusi statistik negara dipimpin oleh individu yang benar-benar berwibawa. Dengan itu juga, saya ingin merakamkan tahniah kepada Ketua Perangkawan Negara yang baru iaitu Puan Siti Asiah Ahmad.

draft • 2:26 PM

Dato' Muhammad Bakhtiar bin Wan Chik - Balik Pulau

Kedua, rang undang-undang memperkasakan DOSM sebagai pusat repositori data dan statistik bersepadu sebagai platform rujukan utama negara.

Penyelarasan ini amat penting bagi memastikan semua kementerian dan agensi menggunakan definisi, metodologi serta piawaian yang seragam.

Ketiga, saya melihat usaha memperkukuh tadbir urus data (data governance) di seluruh kementerian dan agensi sebagai satu keperluan yang mendesak. DOSM perlu diberikan mandat untuk menyediakan panduan dan standard yang jelas supaya pengurusan data di setiap agensi mematuhi piawaian yang ditetapkan. Tanpa standard yang seragam, data yang dikumpulkan akan sukar diintegrasikan dan dianalisis secara berkesan.

Saya masih ingat lagi semasa menjawat jawatan Timbalan Menteri MOTAC.

Saya pernah bertanya kepada pegawai dan dari manakah sumber data bagi ketibaan pelancong luar negara? Saya amat terkejut apabila dimaklumkan bahawa data tersebut diperolehi daripada JIM, Jabatan Imigresen melalui helaian excel sahaja, sehelai excel sahaja. Dalam dunia yang serba canggih dengan AI, saya berharap data penting ini dapat diperolehi secara real time dan benar-benar boleh dipercayai.

Lebih penting lagi kita perlu jelas tentang definisi pelancong asing mengikut definisi UNWTO, pelancong antarabangsa adalah mereka yang sekurang-kurangnya bermalam satu malam di negara yang dilawati, bukan sekadar pengunjung balik hari seperti sebahagian daripada mereka datang dari negara jiran iaitu dinamakan excursionist. Perbezaan definisi ini amat penting kerana ia memberi kesan kepada ketepatan statistik, perancangan industri pelancongan dan penilaian sumber sebenar sektor ini kepada ekonomi negara.

Tuan Yang di-Pertua, bagi saya lebih satu minit. Jadi, kita lihat bahawa kadang-kadang MOTAC melaporkan jumlah pelancong yang ramai tapi sebenarnya angka itu hanyalah banyak daripada excursionist, mereka yang datang daripada negara jiran. Jadi, tidak menggambarkan betul-betul ketibaan pelancong luar negara.

Saya juga menyokong Majlis Statistik Negara amat signifikan. Majlis ini bukan sahaja berperanan memberikan panduan strategik, malah menentukan keutamaan dalam pengeluaran statistik rasmi negara, selaras dengan pembangunan ekonomi, sosial dan kesejahteraan.

Jadi, Puan Yang di-Pertua saya landing. Saya percaya rang undang-undang ini bukan sekadar memperkukuhkan sistem statistik negara, malah menjadi asas kepada pembentukan dasar yang lebih tepat, meningkatkan kecekapan pentadbiran, memperkukuh keyakinan pelabur serta akhirnya membawa manfaat yang besar kepada rakyat dan pembangunan negara. Sekian, terima kasih. Saya mohon menyokong.

draft • 2:50 PM

Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng

Terima kasih Yang Berhormat Balik Pulau. Saya jemput Yang Berhormat Pendang.

draft • 2:50 PM

Datuk Haji Awang bin Hashim - Pendang

*Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh* dan salam sejahtera. Puan Yang di- Pertua, terima kasih kerana memberi peluang kepada saya untuk membahaskan Rang Undang-undang Statistik 2026. Pendang menyokong Rang Undang-undang Statistik 2026 kerana saya melihat rang undang-undang ini bukan sekadar menggantikan Akta Perangkaan 1965 yang telah berkuat kuasa selama lebih enam dekad, bahkan merupakan satu reformasi penting untuk memperkukuhkan sistem statistik negara.

Rang undang-undang ini memperkasakan Jabatan Statistik Malaysia sebagai institusi utama yang bertanggungjawab menghasilkan statistik rasmi negara yang berkualiti, berintegriti dan boleh dipercayai. Oleh sebab itu, kita sangat memberi penekanan bahawa angka-angka yang diberikan, terutamanya bagi Ahli-ahli Parlimen dalam Dewan ini menggunakan angka-angka yang rasmi untuk kita berhujah, berbahas dan sebagainya.

Kita tengok pada masa ini, Jabatan Statistik Malaysia diperkasakan sebagai pusat repositori data negara ataupun central repository of statistic, dengan izin menyelaras statistik kebangsaan serta menyelaras badan yang menetapkan standard dan metodologi statistik negara dalam era data raya, kecerdasan buatan dan pendigitalan. Pembaharuan ini sememangnya amat kita perlukan.

Puan Yang di-Pertua, namun begitu cabaran terbesar negara hari ini bukan lagi kekurangan data, cabaran sebenar ialah bagaimana kita mempertahankan kewibawaan statistik rasmi negara. Sebab kita menggunakan wang rakyat yang agak besar untuk menubuhkan Jabatan Statistik negara ini. Jadi kita kena eksploitasi sepenuhnya Jabatan Statistik ini kerana mereka adalah orang-orang yang berkompeten untuk menjalankan tanggungjawab mereka sebagai perangkawan negara.

Namun begitu, cabaran terbesar hari ini, kita lihat angka-angka ini sedang kadang-kadang dipetik dengan sesuka hati. Oleh sebab itu, kita harap pihak kerajaan perlu membuat satu libat urus, menyalurkan segala setiap suku yang pertama, suku kedua, suku ketiga, suku yang keempat kepada mereka yang berautoriti sepertimana Ahli Parlimen supaya mereka mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang berdasarkan daripada DOSM ataupun daripada statistik negara sepertinya pegawai- pegawai tinggi kerajaan, ketua-ketua jabatan, Ahli-ahli Parlimen yang ini.

Apa gunanya kita mempunyai sistem statistik yang moden atau pegawai yang berkelayakan dan teknologi yang canggih sekiranya statistik rasmi yang diterbitkan akhirnya dipersoalkan atau hanya digunakan apabila bersesuaian dengan naratif tertentu.

Rang undang-undang ini perlu kita tekankan aspek kualiti integriti dan kebolehpercayaan statistik rasmi, tetapi integriti statistik tidak hanya dibina melalui undang-undang, ia bergantung kepada kesediaan semua pihak menghormati statistik rasmi sebagai sumber kebenaran negara.

Puan Yang di-Pertua, statistik bukanlah sekadar angka, statistik membentuk persepsi, statistik mempengaruhi dasar, statistik juga menentukan agihan sumber negara. Oleh sebab itu, statistik yang diterbitkan oleh Jabatan statistik Malaysia akan dipetik oleh media, ahli akademik, pelabur, institusi kewangan dan organisasi antarabangsa dalam era media sosial.

Satu angka sahaja mampu tersebar dalam beberapa minit, membentuk persepsi rakyat, mempengaruhi keyakinan pelabur dan mencetuskan polemik nasional. Jadi kita perlu berhati-hatilah. Jadi, terima kasihlah. Sebenarnya dengan kerja buat yang dilakukan oleh Jabatan Statistik negara ini perlu kita hargai.

Oleh sebab itu, statistik rasmi negara mestilah menyampaikan keseluruhan kebenaran dengan izin, the whole truth and nothing but the truth. Bukan sebahagian daripada kebenaran, bukan angka yang dipilih mengikut kesesuaian tetapi fakta yang lengkap, tepat dan boleh dipertanggungjawabkan.

Dalam ayat Quran, “Sesungguhnya telah datang kebenaran dan lenyaplah kebatilan. Sesungguhnya kebatilan itu sememangnya pasti lenyap”. Dalam konteks ini, pentadbiran negara statistik mestilah berdiri di atas prinsip al-haq iaitu kebenaran yang berasaskan fakta dan bukti. Apabila statistik dipelihara integritinya, maka sekiranya dimanipulasi, maka keyakinan rakyat terhadap institusi negara juga akan terhakis.

Puan Yang di-Pertua, namun pada 6 Mei 2026, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor telah menzahirkan kebimbangan bahawa kenyataan tersebut boleh mewujudkan persepsi bahawa sudah tiada lagi golongan fakir dan miskin di negeri itu, sekali gus berpotensi menjejaskan kutipan zakat. Berdasarkan kepada kenyataan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri pada 29 April 2026, “Miskin tegar di Selangor telah dinoktahkan”. Dibangkitkan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor pada 6 Mei 2026, dia bimbang dengan kenyataan ini menyebabkan yang mana fakir miskin masih ada lagi 14,000 orang di Selangor. Jadi insiden ini menunjukkan bahawa statistik bukan sekadar angka tetapi mampu mempengaruhi persepsi masyarakat dan pelaksanaan dasar.

Kedua, jika menyaksikan kenyataan Ahli Parlimen Jelutong mengenai kadar jenayah di Kelantan yang bercanggah dengan statistik rasmi Jabatan Statistik Malaysia, saya tidak mahu sepertimana yang disebut, negeri yang paling tinggi kadar jenayah kanak-kanak ini adalah di Kelantan. Bila kita check Jabatan Statistik, negeri yang pertama yang paling tinggi adalah Selangor. Kelantan tempat yang ke-11.

Jadi kita tak mahu mereka yang ada autoriti, yang berkepentingan, pemimpin- pemimpin politik membuat kenyataan tanpa berdasarkan angka-angka yang rasmi.

draft • 2:52 PM

Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng

Sila gulung.

draft • 2:52 PM

Datuk Haji Awang bin Hashim - Pendang

Jadi, ini menyebabkan integriti, mencemarkan imej seseorang itu sendiri.

draft • 2:52 PM

Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng

Sila gulung.

draft • 2:52 PM

Datuk Haji Awang bin Hashim - Pendang

Jadi sebab itu, yang terakhirlah saya ada lagi dua...

draft • 2:52 PM

Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng

Sila gulung.

draft • 2:52 PM

Datuk Haji Awang bin Hashim - Pendang

Saya akan gulunglah. Okey, saya gulung. Puan Yang di-Pertua, saya berpandangan bahawa tanggungjawab mempertahankan statistik rasmi negara bukan hanya terletak pada Jabatan Statistik Malaysia, ia merupakan tanggungjawab seluruh kerajaan. Semua kementerian, semua agensi, malah kita sebagai Ahli Parlimen yang perlu menjadi statistik rasmi sebagai rujukan utama mengeluarkan kenyataan kepada rakyat.

Apakah mekanisme yang dilaksanakan di bawah Rang Undang-undang Statistik 2026 bagi memastikan semua kementerian, agensi kerajaan serta syarikat berkaitan kerajaan menggunakan statistik rasmi yang disahkan oleh Jabatan Statistik Malaysia.

draft • 2:52 PM

Datuk Haji Awang bin Hashim - Pendang

Jadi, saya harap dengan apa ni ucapan saya ini, saya minta YB Jelutong yang menuduh kerajaan dari Kelantan itu minta maaf lah. Tarik balik lah sebab...

draft • 3:00 PM

Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng

Terima kasih Yang Berhormat Pendang.

draft • 3:00 PM

Datuk Haji Awang bin Hashim - Pendang

...kenyataan itu tak benar.

Sekian, terima kasih.

draft • 3:00 PM

Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng

Saya jemput Yang Berhormat Bachok.

draft • 3:00 PM

Tuan Haji Mohd Syahir bin Che Sulaiman - Bachok

Terima kasih Puan Yang di-Pertua. Terima kasih kerana memberikan peluang kepada Bachok untuk mengambil bahagian dalam perbahasan Rang Undang-undang Statistik 2026 yang bertujuan menambah baik tadbir urus serta memperkukuh kewibawaan dan profesionalisme Jabatan Statistik Malaysia ataupun lebih dikenali sebagai DOSM.

Sebagai pengguna tegar portal DOSM sejak di universiti, saya merakamkan tahniah kepada pasukan Kementerian Ekonomi dan DOSM kerana akhirnya berjaya mengemukakan RUU yang telah lama tertangguh ini ke Parlimen. Yang lebih penting ialah bagaimana segala angka, data dan statistik ini diterjemahkan kepada dasar program dan keputusan kerajaan yang benar-benar memberi manfaat kepada rakyat dan negara.

Dua perkara ingin saya bangkitkan dalam ruang perbahasan yang serba terhad ini. Pertama, fungsi Jabatan Statistik di bawah fasal 5. Kedua, profesionalisme Ketua Perangkawan dan pasukannya di bawah fasal 4. Puan Yang di-Pertua, pertama berkaitan fungsi Jabatan Statistik sebagai pusat repositori data dan statistik rasmi kerajaan di bawah fasal 5(1)(a).

Saya ingin mendapatkan penjelasan mengenai hala tuju Sistem PADU.

Mohon Menteri jelaskan mengenai status verifikasi maklumat peribadi yang telah diisi oleh rakyat segenap pelosok negara. Setakat 31 Mac 2024, kedudukan dan fungsi PADU selepas pelaksanaan subsidi bersasar menggunakan pangkalan data BUDI di bawah seliaan Kementerian Kewangan serta mekanisme perkongsian dan integrasi data rentas agensi dan kementerian di bawah kerangka baharu RUU ini.

Persoalan ini perlu diperjelaskan kerana kerajaan telah melaburkan dana yang besar untuk membangunkan dan mengoperasikan Sistem PADU. Seterusnya, berkaitan fungsi Jabatan Statistik untuk membangunkan dan menetapkan standard di bawah fasal 5(1)(d). Saya berharap Jabatan Statistik lebih terkehadapan dalam membangunkan indeks-indeks baharu yang lebih responsif terhadap perubahan ekonomi dan realiti kehidupan rakyat.

Sebagai contoh, kita memerlukan indikator, inflasi dan ukuran kos sara hidup yang lebih terperinci dengan mengambil kira perbezaan corak perbelanjaan mengikut kumpulan pendapatan, lokasi dan komposisi isi rumah. DOSM juga wajar menyelaras dan memberikan panduan terhadap ukuran-ukuran yang digunakan di peringkat negeri termasuk had kifayah.

Bagi menentukan kelayakan asnaf, fakir miskin yang dibangkitkan oleh Pendang sebentar tadi berbanding pendapatan garis kemiskinan PGK yang digunakan di peringkat Persekutuan. Pada masa sama, saya mencadangkan DOSM meneroka pembangunan suatu indeks keseimbangan fiskal atau fiscal equalization index. Mengambil kira kapasiti serta keperluan fiskal antara negeri-negeri dan Kerajaan Persekutuan.

Mutakhir ini, pelbagai tuntutan fiskal dibangkitkan oleh negeri-negeri tak kira negeri kerajaan, tak kira negeri pembangkang mahupun negeri kerajaan termasuk berkaitan hasil percukaian, sumber mineral dan agihan peruntukan pembangunan.

Justeru, negara memerlukan suatu indeks rujukan yang objektif dan berasaskan data bagi menilai tahap keseimbangan fiskal antara negeri-negeri dan Kerajaan Persekutuan. Perkara ini boleh dibawa ke dalam Majlis Statistik Negara.

Terakhir Puan Yang di-Pertua, berkaitan profesionalisme para perangkawan di bawah fasal 4. Bachok memohon supaya kerajaan memberikan perhatian dan peruntukan yang lebih besar kepada aspek latihan, peningkatan kemahiran, pentauliahan dan pengajian di peringkat pascasiswazah. Di samping pendedahan kepada amalan terbaik di peringkat antarabangsa.

Pembangunan kepakaran ini tidak seharusnya terhad kepada amalan statistik konvensional tetapi diperluaskan kepada analitik data, pemodelan data, sains data dan kecerdasan buatan AI. Merangkumi bidang ekonomi, sosial, keselamatan, alam sekitar serta bidang-bidang strategik yang lain.

Profesionalisme para perangkawan ini amat penting bagi menghasilkan data yang lebih pantas, berkualiti dan boleh dipercayai. Seterusnya menjadi asas kepada pembentukan dasar, perancangan serta keputusan kerajaan yang benar-benar memberi manfaat kepada rakyat dan negara.

Di kesempatan ini Puan Yang di-Pertua, Bachok bersama-sama dengan sahabat Balik Pulau sebentar tadi turut merakamkan setinggi penghargaan kepada— setinggi penghargaan dan sekalung tahniah kepada mantan Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin dan meletakkan setinggi kepercayaan kepada Ketua Perangkawan yang baharu serta pasukannya untuk meneruskan legasi cemerlang Jabatan Statistik Malaysia. Sekian daripada Bachok, terima kasih...

draft • 3:00 PM

Tuan Afnan Hamimi bin Dato' Haji Taib Azamudden - Alor Setar

Sedikit Bachok. Bachok, Bachok sikit saja.

draft • 3:00 PM

Tuan Haji Mohd Syahir bin Che Sulaiman - Bachok

Ya.

draft • 3:00 PM

Tuan Afnan Hamimi bin Dato' Haji Taib Azamudden - Alor Setar

Adakah— Terima kasih Timbalan Speaker. Adakah Bachok bersetuju cara mengutip data ini juga diambil daripada pedoman hadis itu diriwayatkan? Ada perawi-perawi hadis dilihat kepada perawi itu barulah diambil data itu sahih ataupun tidak. Adakah Bachok bersetuju supaya pihak DOSM juga mengkaji dan menerokai perkara- perkara yang berkaitan seperti ini?

draft • 3:00 PM

Tuan Haji Mohd Syahir bin Che Sulaiman - Bachok

Terima kasih Alor Setar. Untuk makluman Puan Yang di-Pertua, ini juga antara bidang favorite sahabat saya Alor Setar dalam kajian master dan PhD beliau tentang kelayakan ataupun kualiti perawi ataupun yang menyebarkan maklumat-maklumat itu. Jadi, saya kira pandangan baik, mohon diambil perhatian oleh pihak kementerian. Jadi sekadar itu, Puan Yang di-Pertua. Terima kasih.

draft • 3:00 PM

Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng

Terima kasih Yang Berhormat Bachok. Saya jemput Yang Berhormat Betong.

draft • 3:00 PM

Dato Dr. Richard Rapu @ Aman anak Begri - Betong

Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Terima kasih di atas peluang untuk membahaskan RUU Statistik 2026. Pada hemat saya, kekuatan sebuah negara pada abad ke-21 ini bukan sahaja diukur melalui KDNK rizab antarabangsa ataupun jumlah pelaburan yang masuk.

Kekuatan sebuah negara bermula daripada kualiti datanya. Jika datanya tepat maka dasarnya akan tepat, jika datanya lemah maka keputusan kerajaan juga berisiko tersasar. Sebab itu Betong melihat RUU ini amat signifikan kerana ia mengubah paradigma bahawa statistik bukan lagi sekadar kerja bancian tetapi menjadi aset strategik negara. Kita perlu membina satu sistem statistik yang lebih pantas, lebih bersepadu dan lebih diyakini.

Puan Yang di-Pertua, pertama Majlis Statistik Negara perlu benar-benar bersifat nasional. Betong menyambut baik fasal 7 hingga 11 yang mengenai penubuhan Majlis Statistik Negara. Tetapi Betong ingin bertanya kepada Yang Berhormat Menteri, adakah majlis ini benar-benar mencerminkan struktur Persekutuan Malaysia? Adakah Sabah dan Sarawak akan mempunyai representasi yang tetap?

Ini bukan soal kuota, ini soal realiti pembangunan. Sebagai contoh, keluasan Sarawak yang melebihi 124,000 kilometer persegi hampir menyamai keseluruhan Semenanjung Malaysia. Cabaran kita untuk mendapatkan data di pedalaman seperti Hulu Rajang atau Ulu Baram tentunya berbeza dengan kawasan bandar.

Jika dasar negara mahu bersifat inklusif, maka suara negeri-negeri juga perlu berada di meja yang menentukan hala tuju statistik negara. Jadi, Betong mencadangkan wakil kerajaan daripada Sabah dan Sarawak, universiti awam, pakar data serta sektor industri diberikan tempat secara rasmi dalam Majlis Statistik Negara.

Kedua, penyelarasan data antara kementerian masih menjadi cabaran. Saya menyokong fasal 5 yang memperkukuh peranan Jabatan Statistik Malaysia sebagai pusat repositori data negara. Namun persoalannya ialah siapakah yang jadi single source of truth dengan izin, negara. Hari ini kita masih melihat angka yang berbeza antara kementerian mengenai kemiskinan perusahaan mikro ataupun guna tenaga mahupun produktiviti. Apabila angka berbeza rakyat mula mempersoalkan kredibiliti kerajaan.

Jadi Betong mencadangkan Ketua Perangkawan diberikan kuasa melaksanakan audit kualiti data nasional secara berkala ke atas semua kementerian dan agensi supaya definisi klasifikasi dan juga metodologi benar-benar diselaraskan.

Ketiga, data yang benar-benar yang besar mesti disertai dengan perlindungan yang lebih besar.

Jadi Betong menyokong fasal 12 hingga fasal 15 berkaitan kerahsiaan maklumat. Tetapi Betong ingin mengingatkan bahawa hari ini kita berada dalam era kebocoran data. Laporan IBM – Cost of Data Breach 2024 menunjukkan kos purata kebocoran data di seluruh dunia telah mencecah sekitar USD4.9 juta bagi setiap insiden. Ini rekod tertinggi setakat ini.

Persoalannya, adakah semua repositori statistik negara akan mematuhi piawaian keselamatan seperti ISO/IEC 27001? Adakah audit keselamatan siber akan diwajibkan setiap tahun? Kepercayaan rakyat ialah modal terbesar Jabatan Statistik Malaysia. Sekali kepercayaan itu hilang, kadar respons bancian juga akan menurun.

Keempat, hukuman perlu seimbang dengan pendidikan. Betong memahami rasional fasal 12(5) yang menaikkan penalti sehingga RM50,000 kepada pihak yang gagal memberikan maklumat.

Tetapi Betong ingin mencadangkan satu pendekatan yang lebih progresif.

Bagi kesalahan pertama, berilah ruang kepada pendidikan dan pematuhan secara sukarela terlebih dahulu khususnya kepada PKS, koperasi dan perusahaan mikro luar bandar. Pendekatan educate before you penalize dengan izin, akan meningkatkan kerjasama masyarakat tanpa kita menjejaskan integriti data negara.

draft • 3:06 PM

Dato Dr. Richard Rapu @ Aman anak Begri - Betong

Yang terakhir Tuan Yang di-Pertua, ialah statistik negara mesti memasuki era AI. Jadi, Betong ingin bertanya kepada Menteri, adakah Jabatan Statistik Malaysia mempunyai pelan penggunaan AI, machine learning, data satelit dan data masa nyata bagi mempercepatkan penerbitan statistik? Hari ini banyak negara yang menggunakan imej satelit untuk menganggarkan keluasan tanaman, data transaksi digital bagi mengukur satu aktiviti ekonomi dan analitik masa nyata bagi memantau inflasi. Malaysia tidak boleh ketinggalan.

Jadi, Betong juga mencadangkan supaya diwujudkan National Lab Innovation Lab di bawah— Data Innovation Lab di bawah Jabatan Statistik Malaysia bagi membangunkan analitik ramalan untuk kita membantu kerajaan membuat keputusan yang lebih awal sebelum sesuatu krisis berlaku.

Akhir sekali, izinkan saya menyentuh kepentingan Sarawak. Sarawak kini sedang melaksanakan Post COVID-19 Development Strategy yang menyasarkan tahun 2030 memfokuskan ekonomi digital, hidrogen hijau, tenaga boleh diperbaharui. Namun, perancangan yang baik memerlukan data yang lebih terperinci.

Jadi Betong berharap, Jabatan Statistik Malaysia dapat memperluaskan penerbitan statistik sehingga ke peringkat bahagian daerah, DUN dan Parlimen, termasuk indikator berkaitan kemiskinan, multidimensi, produktiviti pertanian, akses internet, kemudahan kesihatan dan pendidikan. Barulah dasar pembangunan benar- benar mencerminkan keadaan sebenar rakyat di lapangan, khususnya di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak.

Maka dengan berapa penambahbaikan seperti yang memperkukuhkan representasi negeri, mewujudkan audit kualiti data, mempertingkatkan keselamatan siber, memperluaskan penggunaan AI dan menghasilkan statistik yang lebih granular sehingga ke peringkat Parlimen, saya yakin RUU ini akan menjadi antara reformasi institusi yang penting dalam kita memperkukuhkan sistem pentadbiran negara.

Dengan itu, Betong menyokong RUU ini. Sekian, terima kasih.

draft • 3:10 PM

Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng

Terima kasih Yang Berhormat Betong. Saya jemput Yang Berhormat Kangar.

draft • 3:10 PM

Tuan Zakri bin Hassan - Kangar

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam sejahtera. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.

Pada asasnya, saya menyokong usaha-usaha kerajaan untuk memodenkan sistem statistik negara melalui RUU Statistik 2026, selaras dengan perkembangan ekonomi digital, penggunaan data raya, kecerdasan buatan dan keperluan membuat dasar berdasarkan bukti evidence-based policy, dengan izin. Namun begitu, sokongan ini perlu disertai dengan beberapa penelitian kritikal supaya akta ini benar- benar meningkatkan keyakinan rakyat terhadap sistem statistik negara.

Tuan Yang di-Pertua, fasal 7 Bahagian III, Penubuhan Majlis Statistik dan Data Negara (MSN). Fasal ini menubuhkan MSN untuk menyelaras pengurusan data, merentas semua kementerian dan kerajaan negeri. Niatnya nampak baik, tetapi kelemahannya ialah ia memberi kuasa mutlak kepada Persekutuan. Risiko birokrasi ini akan meminggirkan kawasan luar bandar dan pihak berkuasa tempatan yang serba kekurangan dari segi bajet digital.

Contoh terkini dan realiti rakyat, rakyat masih ingat bagaimana kelam- kabutnya integrasi data melalui pelancaran sistem PADU sebelum ini. Isu teknikal dan ketidaksediaan agensi bawah menyebabkan rakyat keliru dan ada yang tercicir daripada bantuan. Kita tidak mahu pisang berbuah tiga kali. Jangan jadikan MSN ini sebagai satu lagi birokrasi berat yang menekan kampung-kampung luar bandar tanpa bantuan dana. Jadi, saya cadangkan kerajaan mewujudkan dana khas digital wilayah di bawah MSN untuk membantu PBT di luar bandar menaik taraf sistem mereka agar selari dengan standard di peringkat Pusat.

Fasal 5 dan fasal 14, fungsi penerbitan pusat repositori data bersepadu. Tuan Yang di-Pertua, RUU ini mahu mengumpulkan semua data sosioekonomi rakyat dalam satu platform besar yang berpusat. Kelemahannya ialah ia mengumpulkan data mega dalam satu tempat tanpa sekuriti gred tertinggi adalah satu tindakan yang sangat berbahaya. Ia membuka ruang kepada ancaman keselamatan siber yang dahsyat.

Contoh terkini dan realiti rakyat, rakyat hari ini hidup dalam ketakutan. Saban bulan, saban hari, kita terdengar berita kebocoran data peribadi, sama ada daripada syarikat telekomunikasi, bank mahupun agensi kerajaan. Kesannya, rakyat dihujani panggilan scammer dan duit simpanan mereka lebur, terutamanya golongan yang baru saja berpencen.

Jadi, apabila kita kumpulkan data dalam satu repositori, apakah jaminan keselamatan yang kerajaan boleh beri kepada rakyat? Jadi, saya mencadangkan supaya klausa mandatori yang mewajibkan audit keselamatan siber oleh pihak ketiga setiap enam bulan dan kerajaan mesti membayar pampasan automatik kepada rakyat, jika data mereka bocor.

Tuan Yang di-Pertua, fasal 4 Bahagian II, kriteria ketat pelantikan Ketua Perangkawan. RUU ini meletakkan syarat kelayakan yang sangat ketat untuk jawatan Ketua Perangkawan, termasuk syarat wajib 20 tahun pengalaman perkhidmatan statistik. Syarat 20 tahun ini terlalu kaku, rigid. Ia menutup pintu kepada pakar sains data luar dan anak muda yang hebat. Teknologi hari ini bergerak sepantas kilat. Kita bukan lagi hidup dalam zaman matematik tradisional. Kita perlukan pemimpin yang faham kecerdasan buatan dan machine learning dengan izin.

Kalau syaratnya jumud dan kaku dalam skim yang sama, kita akan terlepas peluang melantik anak-anak muda yang sedang memimpin makmal sains data terkemuka di Silicon Valley USA atau syarikat teknologi global di negara Eropah dan negara di Asia Barat untuk pulang berkhidmat di negara ini. Jadi cadangan saya, longgarkan syarat perkhidmatan kepada 15 tahun, jika calon memiliki rekod inovasi teknologi bertaraf global dan wujudkan panel bebas di peringkat Parlimen untuk memilih calon demi mengelakkan pengaruh politik.

Memandangkan masa telah pun tamat, jadi saya dengan ini turut menyokong RUU Statistik 2026. Terima kasih.

draft • 3:12 PM

Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng

Terima kasih Yang Berhormat Kangar. Saya jemput Yang Berhormat Kuala Langat.

draft • 3:12 PM

Dato’ Dr. Ahmad Yunus bin Hairi - Kuala Langat

Terima kasih Tuan Yang di-Pertua di atas kesempatan untuk saya turut berbahas dalam RUU Statistik 2026.

Saya melihat satu reformasi yang sangat baik untuk melahirkan satu sistem statistik negara melalui pendekatan yang lebih moden dan juga komprehensif. Tahniah kepada Kementerian Ekonomi dan juga Jabatan Statistik Malaysia.

Cuma saya ingin melihat kepada beberapa perkara. Pertamanya, di mana juga yang disebutkan oleh Kangar tadi ya, berkaitan dengan pelantikan Ketua Perangkawan yang saya kira kriterianya sangat baik, cuma fasal 4(2)(b) itu yang mengehadkan 20 tahun pengalaman itu saya kira harus ada pertimbangan yang tertentu kerana saya kira antara perkara yang disebutkan tadi ya. Mungkin ada anak- anak yang lebih muda, yang punya pengalaman yang tidak sebegitu 20 tahun, tetapi mempunyai keupayaan untuk menjadi ketua pengarah dan menguruskan dengan sebaik mungkin.

Saya melihat bahawa negara kita berdepan dengan kekurangan kepakaran daripada bidang statistik, ekonomi, sains data dan matematik yang menjejaskan keupayaan kerajaan untuk menganalisa dan mentafsirkan data dengan tepat.

Kebergantungan kepada pihak luar semakin meningkat, manakala dalam masa yang sama, wujud ketidakpadanan antara kemahiran graduan dan keperluan sebenar sektor awam dan juga industri. Saya kira sekiranya kita mahu satu sistem yang baik, yang kita nak bangunkan itu, sudah tentu sumber manusia ataupun tenaga sumber itu adalah satu perkara dilihat yang sangat penting.

Adakah kerajaan mempunyai unjuran jangka panjang yang lebih jelas tentang keperluan tenaga pakar dalam bidang ini? Atau sekadar bertindak secara reaktif?

Jika keperluan tinggi, adakah laluan kerjaya dalam sektor awam yang cukup kompetitif untuk menarik dan mengekalkan pakar?

Kementerian Pendidikan Tinggi perlu melaksanakan audit nasional bagi mengenal pasti jumlah program graduan dan kepakaran dalam bidang berkaitan serta membangunkan unjuran jurang tenaga kerja dalam tempoh lima hingga 10 tahun. Fokus tidak boleh hanya kepada penambahan bilangan graduan, tetapi mesti kepada peningkatan kualiti dan relevansi kemahiran termasuk aspek analitik data, kecerdasan buatan dan aplikasi dasar.

draft • 3:17 PM

Dato’ Dr. Ahmad Yunus bin Hairi - Kuala Langat

Selain itu, skim biasiswa terikat dan laluan kerjaya yang lebih kompetitif daripada sektor awam perlu diperkenalkan untuk memastikan bakat berkualiti dan dapat ditarik dan dikekalkan.

Kelemahan utama ekosistem kerajaan pada hari ini adalah sifatnya yang berpecah, tidak seragam dan lambat dikemas kini. Banyak agensi mengurus data secara silo tanpa standard yang konsisten, menyebabkan keputusan dasar dibuat berdasarkan maklumat yang sudah lapuk atau tidak lengkap. Akibatnya, dasar menjadi kurang responsif, berlaku ketirisan dan sasaran intervensi tidak tepat. Lebih membimbangkan, tiada pemilik akauntabiliti yang jelas terhadap kualiti dan integriti data di peringkat agensi.

Mengapa sehingga kini masih tiada keperluan mandatori untuk setiap entiti kerajaan mempunyai fungsi statistik yang formal dan profesional? Jika data benar- benar dianggap aset strategik negara, mengapa pelaburan terhadap infrastruktur tenaga dan tenaga pakar masih tidak sistematik? Adakah usaha digitalisasi kerajaan sekadar bersifat kosmetik tanpa keupayaan sebenar untuk mendorong analitik masa data?

Keperluan perlu mewajibkan pelantikan pegawai statistik bertauliah di setiap agensi dan bertanggungjawab jelas terhadap pengurusan data. Selain daripada itu, perlu dibangunkan platform data bersepadu nasional dengan standard inoperability yang membolehkan perkongsian data antara agensi secara lancar.

Keupayaan near real time wajar difokuskan supaya sektor kritikal seperti inflasi dan pasaran buruh, peruntukan kewangan khusus yang juga perlu disediakan disertakan dengan mekanisme audit bebas bagi memastikan data bukan sahaja tersedia tetapi berkualiti dan boleh dipercayai.

Saya juga ingin menyentuh berkaitan dengan fasal 13, berkaitan dengan permintaan bagi data. Ketua Perangkawan boleh meminta apa-apa data daripada mana-mana entiti kerajaan melalui notis secara bertulis, mengarahkan ketua entiti kerajaan itu untuk mengemukakan data tersebut. Sekiranya ketua entiti kerajaan ini tidak memainkan peranan atau pun tidak mematuhi arahan untuk menghantar data itu, apakah penalti atau apakah denda yang boleh perlu diambil?

Sama ada mungkin bentuk surcharge atau pun dari sudut perjawatannya dan saya kira, harus sekiranya kita mahukan sesuatu reform yang baik dan mempunyai data statistik yang baik, sudah tentulah kita perlu ada juga undang-undang ini mengikat kepada sesuatu yang mempunyai kewibawaannya. Terima kasih Tuan.

draft • 3:20 PM

Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng

Terima kasih Yang Berhormat Kuala Langat. Saya jemput Yang Berhormat Kepong.

draft • 3:20 PM

Tuan Lim Lip Eng - Kepong

Terima kasih Puan Yang di-Pertua. RUU ini menggantikan Akta Perangkaan 1965 tetapi masih belum membina sistem statistik yang benar-benar bebas, telus dan selamat. Statistik rasmi mesti berkhidmat kepada negara dan rakyat, bukan sekadar memenuhi keperluan kerajaan.

Pertama, struktur tadbir urus terlalu dikuasai eksekutif. Fasal 7 meletakkan Perdana Menteri sebagai Pengerusi Majlis Statistik Negara bersama Menteri, sehingga 8 Menteri Persekutuan dan pegawai kanan kerajaan. Tiada ahli bebas atau wakil negeri diwajibkan. Pakar luar hanya boleh dijemput tanpa hak mengundi. Fasal 9 pula memberi Majlis kuasa memberikan panduan dan arahan serta menilai dan menggesakan standard statistik.

Pada masa yang sama, fasal 4 tidak menetapkan tempoh jawatan Ketua Perangkawan, alasan khusus bagi penempatan jawatan atau proses pemilihan terbuka. RUU ini juga tidak menyatakan dengan tegas bahawa kaedah, kandungan dan masa penerbitan statistik mesti ditentukan secara profesional tanpa campur tangan politik.

Kanada memberikan Ketua Perangkawannya tempoh sehingga lima tahun perlindungan daripada pemecatan tanpa sebab dan kuasa membuat keputusan berdasarkan standard profesional. Kod statistik Eropah pula meletakkan tanggungjawab bagi kaedah standard kandungan dan masa penerbitan pada ketua badan statistik.

Kedua, fasal 12 memberikan kuasa terlalu luas untuk menuntut apa-apa data daripada mana-mana orang, termasuk data yang boleh diperolehi secara munasabah. Namun, tiada ujian nyata bahawa permintaan itu perlu berkadar dan tidak membebankan. Tiada pengecualian jelas bagi maklumat terlindung seperti komunikasi peguam/klien dan tiada saluran bantahan atau rayuan terhadap notis.

Penguatkuasaannya juga tidak konsisten.

Fasal 12(5) hanya menjadikan pelanggaran subseksyen 12(3) sebagai kesalahan. RUU ini tidak menyatakan secara khusus hukuman bagi orang yang langsung enggan mengemukakan data atau gagal memberikan notis di bawah subseksyen 12(4). Sebaliknya, orang yang kemukakan data yang tidak memenuhi kehendak, benar, tepat dan lengkap boleh didenda. Sedangkan unsur sengaja, melulu atau cuai tidak dinyatakan. Fasal 13 pula tidak menetapkan akibat khusus jika entiti kerajaan enggan atau lewat memberikan data.

Ketiga, perlindungan kerahsiaan masih berlubang. Kewajipan khusus dalam fasal 15 tidak menyebut secara nyata Menteri, ahli majlis, Ketua Perangkawan, orang yang dijemput menghadiri mesyuarat atau kontraktor. Pengecualiannya bagi apa-apa prosiding sivil atau jenayah di bawah mana-mana undang-undang bertulis juga terlalu luas dan tidak mensyaratkan perintah mahkamah. Prinsip asas statistik rasmi PBB menetapkan bahawa data individu hendaklah dirahsiakan dengan ketat dan digunakan hanya bagi tujuan statistik.

Keempat, tiada jaminan penerbitan yang telus. Fasal 14 memberi Ketua Perangkawan kawalan terhadap kelulusan dan masa penerbitan tetapi RUU ini tidak mewajibkan kalendar penerbitan, akses serentak kepada semua pengguna, penjelasan kelewatan, dasar pembetulan atau penerbitan mitologi. Kod statistik United Kingdom menetapkan tarikh dan masa penerbitan diumumkan lebih awal, perubahan yang dijelaskan dan akses sebelum penerbitan dihadkan.

Kelima, akauntabiliti terlalu lemah. Fasal 16 melindungkan Menteri dan pegawai, termasuk bagi kecuaian, melainkan niat jahat dan ketiadaan sebab munasabah dapat dibuktikan. Fasal 18 pula membolehkan Menteri mewujudkan kesalahan yang membawa hukuman penjara sehingga 12 bulan melalui peraturan subsidiari.

Saya mencadangkan lima pindaan utama:

(i) jamin kebebasan profesional dan tempoh jawatan tetap Ketua Perangkawan;

(ii) susun semula majlis supaya majoritinya ahli bebas serta mempunyai wakil negeri;

(iii) hadkan kuasa fasal 12 melalui ujian keperluan perlindungan maklumat istimewa dan hak rayuan;

(iv) wajibkan penggunaan data individu hanya untuk tujuan statistik; dan

(v) tetapkan kalendar penerbitan, laporan tahunan kepada Parlimen serta penelitian Parlimen terhadap peraturan yang mencipta kesalahan.

Tanpa pindaan ini, RUU ini memberi kuasa besar untuk mengambil data tetapi tidak memberi perlindungan dan semak imbang yang setara. Sekian, terima kasih.

draft • 3:23 PM

Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng

Terima kasih Yang Berhormat Kepong. Saya jemput Yang Berhormat Temerloh.

draft • 3:23 PM

Puan Hajah Salamiah binti Mohd Nor - Temerloh

Assalamualaikum warahmatullah dan salam sejahtera. Temerloh bangun untuk mengambil bahagian dalam perbahasan Rang Undang-undang Statistik 2026.

Pada prinsipnya, Temerloh menyokong usaha kerajaan untuk memperkukuh sistem statistik negara kerana data yang tepat merupakan asas kepada penggubalan dasar yang berkesan dalam apa jua bidang yang diperlukan. Tahniah kepada Kementerian Ekonomi dan semua pihak yang terlibat.

Namun, ada beberapa perkara yang perlu diteliti. Pertama, Bahagian II, fasal 6, perwakilan kuasa Ketua Perangkawan. Tuan Yang di-Pertua, persoalannya ialah adakah skop kuasa yang boleh diwakilkan ini mempunyai had yang tidak terbatas dan luas? Sekiranya semua kuasa boleh diwakilkan tanpa batasan, kita bimbang akan berlaku penyalahgunaan kuasa atau keputusan penting dibuat oleh pegawai yang tidak mempunyai tahap akauntabiliti yang sama seperti Ketua Perangkawan.

Selain itu, adakah setiap perwakilan kuasa diberi secara bertulis, direkod dan boleh diaudit? Tanpa mekanisme tersebut, sukar untuk menentukan siapakah yang akan bertanggungjawab sekiranya berlaku kesilapan atau pelanggaran undang- undang.

Kedua, Bahagian III, fasal 8, kehadiran individu ke mesyuarat majlis. Fasal ini bertujuan membolehkan majlis mengundang mana-mana orang menghadiri mesyuarat majlis. Apakah kriteria pemilihan individu yang dijemput?

draft • 3:28 PM

Puan Hajah Salamiah binti Mohd Nor - Temerloh

Apakah proses ini telus atau bergantung sepenuhnya kepada budi bicara Majlis? Jika tiada garis panduan yang jelas, terdapat risiko pelantikan dibuat atas dasar hubungan tertentu atau kepentingan politik ataupun kroni, bukannya berdasarkan kepakaran.

Selain itu, adakah individu yang dijemput, perlu mengisytiharkan konflik kepentingan, khususnya jika mereka mewakili syarikat swasta atau organisasi yang mempunyai kepentingan terhadap data statistik negara. Cadangan saya ialah menetapkan syarat bahawa individu yang dijemput mestilah mempunyai kepakaran yang relevan. Mewajibkan pengisytiharan konflik kepentingan sebelum menghadiri mesyuarat. Kehadiran mereka hendaklah bersifat nasihat sahaja dan tidak mempunyai hak membuat keputusan.

Ketiga, Bahagian IV, fasal 12 dan fasal 13. Tuan Yang di-Pertua, bahagian ini memperincikan fungsi dan perjalanan majlis. Persoalannya ialah, bagaimanakah kerajaan memastikan majlis benar-benar bebas dan tidak dipengaruhi oleh mana- mana pihak? Sekiranya majoriti keanggotaan terdiri daripada wakil kerajaan semata- mata, sudah tentu timbul persepsi bahawa statistik negara boleh dipengaruhi oleh kehendak pihak tertentu dan tidak ada semak dan imbang.

Kita mahu statistik negara dipercayai bukan sahaja oleh kerajaan, malah oleh pelabur, penyelidik, ahli akademik dan rakyat. Cadangannya ialah menambah penyertaan wakil universiti, badan profesional statistik, sektor industri dan masyarakat sivil.

Keempat, bahagian yang V. Tuan Yang di-Pertua, saya merujuk kepada fasal 16. Pertama, fasal ini berisiko memberikan imuniti yang terlalu luas jika skop perlindungan tidak diperincikan dengan jelas. Ia boleh ditafsirkan sehingga melindungi kecuaian yang serius, sedangkan rakyat yang mengalami kerugian mungkin tidak mempunyai saluran mendapatkan keadilan.

Kedua, fasal ini tidak menjelaskan dengan terperinci sempadan antara kecuaian biasa, kecuaian serius dan salah laku. Kekaburan ini boleh menimbulkan kesukaran dalam menentukan bila seorang pegawai patut dipertanggungjawabkan.

Ketiga, tiada mekanisme semakan bebas dinyatakan. Sekiranya berlaku dakwaan kecuaian dalam pengurusan dan perlindungan data statistik. Siapakah yang akan menyiasat? Adakah siasatan hanya dilakukan secara dalaman?

Persoalan kepada Menteri, Temerloh ingin bertanya kepada Yang Berhormat Menteri, jika kecuaian menyebabkan kebocoran data atau kerugian kepada rakyat, apakah saluran yang tersedia untuk mangsa mendapat pembelaan? Adakah kerajaan bercadang menubuhkan mekanisme siasatan bebas terhadap dakwaan salah laku atau kecuaian pegawai yang dilindungi oleh fasal ini?

Seterusnya dicadangkan dalam fasal 16, menyediakan mekanisme aduan dan siasatan bebas supaya setiap dakwaan kecuaian dapat disiasat secara telus.

Tuan Yang di-Pertua, perlindungan kepada pegawai awam memang penting, tetapi perlindungan itu tidak boleh mengatasi prinsip bahawa setiap pemegang amanah awam mesti bertanggungjawab atas tindakan dan kecuaian mereka.

Fasal 18 memberi kewajipan kepada individu atau organisasi untuk memberikan maklumat, namun tidak diperincikan dengan jelas bentuk maklumat boleh diminta dan had penggunaannya. Persoalannya adalah, apakah had maklumat yang boleh diminta oleh Jabatan Perangkaan? Adakah semua jenis data boleh diminta, termasuk data yang bersifat sensitif? Adakah kerajaan menyediakan mekanisme rayuan, sekiranya seseorang tidak dapat mengumpulkan maklumat dalam tempoh yang ditetapkan?

Seterusnya, penutupnya. Sebagai penutup, ingin saya menegaskan bahawa statistik yang berkualiti ialah nadi kepada pentadbiran negara yang cekap. Setiap keputusan kerajaan, sama ada dalam bidang ekonomi, pendidikan, kesihatan, pelaburan, kebajikan mahupun pembangunan luar bandar bergantung kepada data yang tepat, lengkap dan boleh dipercayai. Jika data dikumpulkan tidak tetap dan tidak diyakini, maka dasar yang digubal juga berisiko tersasar daripada keperluan sebenar rakyat.

Oleh itu, rang undang-undang ini bukan sekadar perlu diperkukuh keupayaan Jabatan Perangkaan mengumpul data, malah perlu memperkukuh akauntabiliti, ketelusan, perlindungan data peribadi dan mekanisme semak dan imbang. Statistik yang baik bukan saja tepat dari segi angka tetapi juga diyakini dari segi proses pengumpulannya.

Temerloh menggesa kerajaan agar meneliti semula beberapa fasal yang telah disebutkan dan dibangkitkan supaya akta ini benar-benar menjadi instrumen yang memperkukuh sistem statistik negara tanpa mengorbankan hak rakyat dan prinsip tadbir urus yang baik. Sekian, terima kasih.

draft • 3:30 PM

Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng

Terima kasih Yang Berhormat Temerloh. Saya jemput Yang Berhormat Kulim-Bandar Baharu.

draft • 3:30 PM

Tuan Roslan bin Hashim - Kulim-Bandar Baharu

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum dan salam sejahtera. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua kerana memberi peluang kepada saya, untuk turut mengambil bahagian dalam perbahasan Rang Undang-undang Statistik 2026.

Tuan Yang di-Pertua, secara prinsipnya RUU ini adalah satu langkah yang baik dan wajar disokong. Kita perlu mengakui bahawa undang-undang ini membawa anjakan penting. Di akhirnya memodenkan Akta Perangkaan 1965 yang sudah lama ketinggalan zaman. Ia mengiktiraf DOSM sebagai repositori data rasmi negara.

Ia juga memperkenalkan standard statistik nasional yang lebih jelas demi membina dasar negara berasaskan bukti. Tetapi persoalannya, bagaimanakah kita mahu memastikan statistik negara benar-benar bebas, dipercayai dan kalis daripada sebarang pengaruh serta persepsi campur tangan politik.

Untuk itu saya ingin membangkitkan beberapa perkara untuk perhatian dan penjelasan pihak Kementerian Ekonomi. Tuan Yang di-Pertua, RUU ini telah memperincikan syarat akademik dan pengalaman bagi pelantikan Ketua Perangkawan dengan sangat baik. Ini satu penambahbaikan yang sangat positif, dan saya puji usaha ini.

Tetapi persoalan yang lebih besar muncul selepas pelantikan dibuat. RUU ini hanya menyebut bahawa Yang di-Pertuan Agong melantik Ketua Perangkawan daripada kalangan pegawai awam yang layak tetapi undang-undang ini sunyi daripada memperincikan:

(i) tempoh jawatan yang tetap;

(ii) syarat-syarat penamatan jawatan yang ketat; dan

(iii) perlindungan daripada penyingkiran sewenang-wenangnya atas sebab politik.

Perlindungan institusi ini sangat penting. Di United Kingdom— United Kingdom Statistics Authority mempunyai tempoh pelantikan yang jelas dan bertanggungjawab terus kepada Parlimen bukan kepada Menteri secara mutlak.

Di Kanada pula, kita boleh mengambil iktibar daripada peristiwa tahun 2010 apabila Chief Statistic mereka meletak jawatan sebagai tanda protes terhadap campur tangan politik dalam urusan banci negara.

Akhirnya Kanada terpaksa meminda undang-undang bagi memberikan autonomi yang lebih besar. Kita tidak mahu perkara yang sama berlaku di Malaysia.

Oleh itu saya ingin mencadangkan agar kerajaan menetapkan tempoh jawatan tetap bagi Ketua Perangkawan. Sebarang penamatan jawatan sebelum tempoh tamat hanya boleh dibuat melalui proses tribunal atau atas alasan khusus yang diperuntukkan dengan jelas di bawah undang-undang.

Tuan Yang di-Pertua, fasal 12 memberikan kuasa yang sangat luas kepada Ketua Perangkawan untuk mengarahkan mana-mana orang menyerah apa-apa data yang diketahui atau yang semunasabahnya boleh diperoleh. Kita faham bahawa agensi statistik memerlukan kuasa mengumpul data demi kepentingan negara.

Tetapi frasa semunasabahnya boleh diperolehi ini, longgar dan subjektif. Apakah had sebenar kuasa ini, adakah ia merangkumi data komersial yang sensitif? Adakah ia melibatkan data sulit perniagaan atau data peribadi rakyat yang dilindungi, sedangkan pada hari ini kita sudah mempunyai Akta Perlindungan Data Peribadi?

Sebagai perbandingan, di Australia mempunyai kuasa untuk mengumpul data, tetapi mereka tertakluk kepada penilaian impak privasi yang ketat serta pemantauan yang khas bagi memastikan tiada data yang dikutip melebihi daripada apa yang diperlukan untuk tujuan statistik semata-mata.

Saya ingin mencadangkan, RUU ini mestilah memasukkan secara bertulis prinsip pengecilan data, iaitu hanya data yang benar-benar perlu untuk dianalisis sahaja boleh diminta. Menyediakan garis panduan pengelasan data yang jelas untuk membezakan data awam, data sulit, perniagaan dan data peribadi, mengadakan audit bebas secara berkala terhadap cara data-data ini dikumpul dan digunakan bagi meningkatkan keyakinan rakyat serta pelabur.

draft • 3:35 PM

Tuan Roslan bin Hashim - Kulim-Bandar Baharu

Tuan Yang di-Pertua, saya menyambut baik peruntukan yang menyatakan bahawa data yang dikumpul di bawah akta ini tidak boleh digunakan untuk tujuan penguatkuasaan cukai. Ini satu jaminan yang baik untuk memberikan ketenangan kepada responden dan peniaga. Namun ada satu lagi ketelusan yang perlu dibaiki.

RUU ini meletakkan kuasa mutlak di bawah budi bicara Ketua Perangkawan untuk menentukan bila data akan diterbitkan, bagaimana ia diterbitkan dan pihak mana yang layak memperolehinya?

Di negara maju seperti New Zealand dan United Kingdom, statistik rasmi tertakluk kepada advance release calendar. Maksudnya tarikh dan masa pengumuman statistik penting seperti kadar inflasi, kadar pengangguran atau pertumbuhan KDNK telah ditetapkan setahun lebih awal. Tarikh ini tidak boleh diubah, ditangguh atau dipercepatkan sesuka hati oleh mana-mana pihak. Langkah ini penting bagi mengelakkan sebarang spekulasi atau persepsi negatif bahawa kerajaan sengaja menahan atau melambatkan pengumuman data buruk kerana faktor politik semasa, contohnya menjelang pilihan raya.

Oleh yang demikian, saya mencadangkan untuk kerajaan mewajibkan penerbitan kalendar, pelepasan data tahunan yang tidak boleh diubah sewenang- wenangnya.

Kedua, mewajibkan semua metodologi pengiraan statistik yang diterbitkan secara telus kepada umum. Sebarang semakan atau pindaan kepada statistik yang telah diterbitkan mestilah diterangkan puncanya secara terbuka.

Ketiga, menyediakan akses data mikro tanpa identiti kepada para penyelidik tempatan melalui persekitaran penyelidik yang selamat bagi membantu kajian akademik yang lebih mendalam.

Tuan Yang di-Pertua, sebagai penutup saya ingin menegaskan sekali lagi, saya menyokong Rang Undang-undang Statistik 2026 ini. Negara kita sememangnya memerlukan statistik yang berkualiti tinggi untuk menghasilkan dasar yang berkualiti demi kesejahteraan rakyat. Namun statistik yang baik bukan sekadar tepat dari sudut metodologi matematik sahaja. Satu statistik juga mestilah bebas daripada sebarang persepsi campur tangan politik, telus dalam kaedah penerbitannya serta bertanggungjawab sepenuhnya kepada Parlimen dan rakyat.

Secara keseluruhannya, saya menyokong semangat dan objektif RUU ini.

Saya percaya Akta Statistik ini yang baru ini bukan sahaja memodenkan Jabatan Perangkaan Malaysia, malah akan meletakkan standard tadbir urus data negara kita setanding amalan terbaik antarabangsa di negara yang maju. Sekian, terima kasih.

draft • 3:40 PM

Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng

Terima kasih Yang Berhormat Kulim-Bandar Baharu. Saya jemput Yang Berhormat Bakri.

draft • 3:40 PM

Tuan Tan Hong Pin - Bakri

Terima kasih Puan Yang di-Pertua, saya ingin mengucapkan syabas kepada Kementerian Ekonomi dan Jabatan Perangkaan Malaysia kerana telah membawa suatu pindaan ke atas Akta Perangkaan 1965 yang telah diguna pakai selama 61 tahun.

Fasal 5 RUU ini yang memperkukuhkan Jabatan Statistik Malaysia sebagai pusat repositori data dan statistik adalah langkah yang tepat pada masanya, selaras dengan keperluan era digital.

Penubuhan Majlis Statistik Negara juga merupakan usaha yang wajar untuk memantapkan tadbir urus sistem statistik negara. Kelayakan ketat yang ditetapkan untuk jawatan Ketua Perangkawan termasuk ijazah sarjana atau kedoktoran serta pengalaman sebanyak 20 tahun juga menunjukkan komitmen kerajaan terhadap profesionalisme. Ini semunya adalah perkara yang patut diberikan sokongan.

Bagaimanapun Puan Yang di-Pertua, kelulusan sesebuah rang undang- undang ini bukan sekadar kita melihat kepada apakah niat baiknya. Pada masa yang sama, ketetapan dan ketepatan setiap fasal dalam melindungi rakyat dan perniagaan. Izinkan saya membangkitkan beberapa kebimbangan saya seperti yang berikut.

Pertama, kuasa Ketua Perangkawan yang terlalu luas. Fasal 12 RUU ini memberi kuasa kepada Ketua Perangkawan untuk mengarahkan mana-mana orang untuk mengemukakan data yang semunasabahnya boleh didapati dengan penalti sehingga RM50,000 dan denda 20— minta maaf. Dan denda RM2,000 sehari bagi kesalahan berterusan.

Soalan saya ialah apakah takrifan semunasabah— minta maaf.

Semunasabahnya boleh didapati? Adakah ia bermakna perniagaan-perniagaan kecil dan sederhana boleh dipaksa mendedahkan maklumat komersial sensitif tanpa had yang jelas?

Lebih membimbangkan lagi fasal 12(3) mengehendaki orang yang mengemukakan data membuat pengisytiharan bahawa mereka tidak mengetahui apa-apa data lain yang akan menjadikan data itu tidak benar atau mengelirukan. Ini adalah bentuk pembuktian terbalik yang membebankan rakyat biasa.

Kita bandingkan ini dengan Confidential Information Protection and Statistical Efficiency Act America yang memberikan mekanisme persetujuan termaklum kepada responden sebelum data mereka digunakan untuk tujuan selain statistik. RUU kita ini tidak mempunyai sebarang mekanisme sedemikian untuk melindungi hak responden.

Persoalan kedua, ketidakbebasan Majlis Statistik Negara, fasal 3. Minta maaf. Fasal 7, menetapkan keanggotaan Majlis Statistik Negara terdiri daripada Perdana Menteri sebagai pengerusi, Menteri iaitu Menteri Ekonomi tidak lebih daripada lapan Menteri Persekutuan, Ketua Setiausaha Negara, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam dan Ketua Perangkawan sebagai setiausaha.

Semua ahli dalam Majlis ini adalah pegawai kerajaan ataupun Ahli Kabinet yang dilantik oleh Perdana Menteri sendiri. Tidak ada seorang pun ahli akademik yang bebas, pakar statistik luar kerajaan mahupun wakil daripada masyarakat sivil.

Kita bandingkan ini dengan National Statistical Commission India, di mana Pengerusi dan empat ahlinya mestilah individu yang mempunyai kepakaran cemerlang dalam bidang statistik, ekonomi atau sains sosial bukannya pegawai kerajaan yang sedang berkhidmat.

Fungsi utama Majlis kita adalah untuk menilai dan mengesahkan standard dan tatacara statistik satu tugas yang bersifat teknikal dan profesional. Mengapakah tugas teknikal ini diserahkan sepenuhnya kepada ahli-ahli politik yang dilantik secara politik tanpa sebarang representasi pakar yang bebas. Saya andaikan ya ibaratkan ini sebagai “bagai tikus membaiki labu”. Makna orang luar campur tangan dalam bidang yang bukan kepakarannya.

Persoalan ketiga, jurang dalam peruntukan kerahsian. Fasal 14(1)(c) hanya menyatakan penerbitan data mestilah memastikan identiti tidak didedahkan tanpa menetapkan teknik anonimisasi yang khusus seperti differential privacy ataupun k- anonymity. Bandingkan ini dengan Artikel 89 GDPR Kesatuan Eropah yang menetapkan bahawa sebarang pengecualian daripada hak individu mestilah disertai dengan langkah perlindungan teknikal yang khusus termasuk pseudonymisation sebagai syarat pertukaran.

Lebih ketara lagi, terdapat ketidakseimbangan penalti dalam RUU ini.

Bayangkan seorang responden yang memberi data tidak tepat boleh didenda dengan denda sehingga RM50,000 tetapi seorang pegawai Jabatan Statistik yang membocorkan data rahsia hanya dipenjara maksimum dua tahun atau didenda RM10,000 sahaja.

draft • 3:43 PM

Tuan Tan Hong Pin - Bakri

Mengapakah hukuman terhadap rakyat lebih berat daripada hukuman terhadap pegawai yang gagal menjaga amanah kerahsiaannya?

draft • 3:50 PM

Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng

Sila gulung.

draft • 3:50 PM

Tuan Tan Hong Pin - Bakri

Fasal 18 memberi kuasa kepada Menteri untuk membuat peraturan-peraturan pelaksanaan tetapi tidak menetapkan bahawa peraturan tersebut mesti merujuk kepada piawaian antarabangsa seperti ISO/IEC 27559 bagi rangka kerja deidentification data. Ini bermakna standard teknikal masih terbuka sepenuhnya kepada budi bicara pentadbiran tanpa garis dasar minimum dalam akta itu sendiri.

Last, terakhir. Apakah kedudukan PADU sekarang? RUU ini melalui fasal 5 telah memberikan Jabatan Statistik Malaysia berfungsi sebagai pusat repositori data dan statistik. Satu fungsi yang secara konsepnya bertindih sepenuhnya dengan peranan PADU sebagai central database hub. Soalan saya ialah, adakah PADU akan dijadikan pusat repositori data dan statistik?

Jadi, saya rasa RUU ini ada banyak masalah dan saya cadangkan supaya RUU ini dirujuk balik untuk dipertimbangkan dan diperhalusi oleh jawatankuasa pilihan khas dan saya harap jangan kita tergesa-gesa untuk meluluskan RUU ini.

Sekian, terima kasih.

draft • 3:50 PM

Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng

Terima kasih Yang Berhormat Bakri. Saya jemput Yang Berhormat Kuala Krai.

draft • 3:50 PM

Tuan Haji Abdul Latiff bin Abdul Rahman - Kuala Krai

Terima kasih Dato’ Yang di-Pertua. Saya mengambil peluang sebelum ini untuk mengalu-alukan rombongan Persatuan Aktiviti Warga Emas UTC Melaka ke persidangan pada hari ini.

[Tepuk] Bismillahirrahmanirrahim. Terima kasih kerana memberikan kesempatan kepada Kuala Krai untuk turut sama dalam perbahasan Rang Undang-undang Statistik 2026. Tuan Yang di-Pertua, izinkan saya memulakan dengan satu peringatan bahawa sebuah negara boleh kehilangan hasil, boleh kehilangan pelaburan malah boleh kehilangan kuasa politik namun apabila sebuah negara kehilangan kepercayaan rakyat, segalanya menjadi rapuh.

RUU ini bukan sekadar tentang angka, jadual atau bancian. Ia adalah tentang kontrak sosial antara kerajaan dan rakyat. Statistik yang baik melahirkan dasar yang berjiwa manakala statistik yang rosak melahirkan dasar yang buta. Jabatan Statistik perlu memainkan peranan sebagai agensi utama kerajaan yang diamanahkan dan dipertanggungjawab untuk memungut, mentafsir serta menyebar perangkaan yang bertepatan masa dan terkini.

Tuan Yang di-Pertua, kita perlu membina institusi statistik yang dipercayai rakyat dengan menerima dan mengemukakan data yang benar bagi memastikan kerajaan dapat membuat dasar yang betul agar seluruh negara tidak menanggung akibatnya jika maklumat dan data yang salah. Kalau tiangnya condong, rumahnya tidak mungkin tegak. Begitulah statistik kita. Jika asas datanya tidak jujur, maka dasar negara akan sentiasa pincang.

Tuan Yang di-Pertua, RUU Statistik 2026 ini sebagai menggantikan Akta Perangkaan 1965 [Akta 415] dan nama Jabatan Statistik Malaysia ditukar daripada nama Jabatan Perangkaan bagi menggambarkan secara langsung fungsi dan peranannya serta relevan dengan keadaan dan perkembangan terkini. Cuma persoalan Kuala Krai, kenapa jawatan Ketua Perangkawan dikekalkan berbanding nama akta dan jabatan yang telah pun ditukar? Sepatutnya jawatan baharu adalah Ketua Statistik Malaysia.

Tuan Yang di-Pertua, Kuala Krai mengalu-alukan peruntukan bahawa data statistik tidak boleh digunakan untuk cukai. Namun, dalam era integrasi data seperti PADU yang sudah pun tidak padu lagi dan juga Identiti Digital, adakah tembok ini cukup tebal? Rakyat kini berada dalam keadaan berwaspada. Jika mereka mula percaya bahawa setiap maklumat akan berakhir dengan audit cukai, mereka akan mula menyembunyikan pendapatan. Hasilnya, dasar negara akan menjadi dasar sampah kerana input yang diterima adalah tidak tepat.

Tuan Yang di-Pertua, data hari ini adalah minyak baru bahkan lebih berharga daripada minyak. Namun, saya kecewa kerana RUU ini sangat sunyi mengenai keselamatan siber. Jika berjuta-juta rekod rakyat bocor akibat serangan penggodam AI, siapa yang bertanggungjawab? Di mana hak rakyat? RUU ini perlukan suatu klausa liabiliti kerajaan, sekiranya berlaku kecuaian dalam menguruskan data besar rakyat.

Tuan Yang di-Pertua, Kuala Krai amat khuatir dengan keseimbangan peruntukan dalam fasal 16 dan 17. Mengapa kerajaan khususnya Menteri dan pegawai diberikan imuniti yang begitu luas sedangkan rakyat dan sektor swasta diikat dengan hukuman yang berat? Jangan jadikan pelindungan pegawai sebagai benteng daripada akauntabiliti. Jika berlaku kecuaian, siapa yang akan menjaga penjaga?

Tuan Yang di-Pertua, RUU ini melalui fasal 5 meletakkan fungsi Jabatan Statistik untuk memastikan kualiti, integriti dan kebolehpercayaan statistik rasmi.

Namun, apa gunanya integriti data jika Ahli Parlimen boleh memanipulasi tafsiran angka tersebut untuk tujuan menyerang lawan politik?

Jika Jabatan Statistik Malaysia gagal membendung penyalahgunaan data oleh pihak berkepentingan, maka kepercayaan awam yang saya tekankan tadi akan hancur lebur. Saya tidak boleh berdiri di sini tanpa menyentuh satu perkara yang sangat mengganggu jiwa rakyat Kelantan.

draft • 3:51 PM

Tuan Haji Mohd Syahir bin Che Sulaiman - Bachok

Kuala Krai, sikit.

draft • 3:51 PM

Tuan Haji Abdul Latiff bin Abdul Rahman - Kuala Krai

Ya.

draft • 3:51 PM

Tuan Haji Mohd Syahir bin Che Sulaiman - Bachok

Setuju tak kalau kita ada satu undang-undang untuk mengekang berita palsu? Statistik juga perlu ada untuk mengekang statistik palsu.

draft • 3:51 PM

Tuan Haji Abdul Latiff bin Abdul Rahman - Kuala Krai

Amat-amat setuju dan boleh masukkan dalam ucapan saya. Saya tidak berdiri di sini tanpa menyentuh satu perkara yang sangat mengganggu jiwa rakyat Kelantan. Baru-baru ini, di Dewan yang mulia ini, Jelutong dan Kampar telah melontarkan kata-kata yang bukan sahaja tidak adil malah menghina maruah rakyat Kelantan dengan memburukkan negeri kami menggunakan statistik yang dipetik secara terpilih.

Bahkan sebelumnya, data dikutip dari sumber sampah, bukan dari sumber rasmi. Tindakan mereka menjadikan data sebagai senjata politik adalah satu ancaman besar kepada perpaduan negara dan di sinilah RUU Statistik 2026 ini menjadi sangat relevan dan pada masa yang sama, sangat membimbangkan.

Tuduhan-tuduhan yang dilemparkan oleh Jelutong dan Kampar itu membuktikan betapa berbahayanya jika data statistik tidak diuruskan dengan penuh integriti. Apabila ahli-ahli politik menggunakan statistik untuk melabelkan rakyat Kelantan sebagai penjenayah, mereka sebenarnya sedang merendahkan fungsi statistik itu sendiri. Tindakan Ahli Parlimen yang memburukkan Kelantan dengan statistik separuh masak adalah manifestasi kepada apa yang akan berlaku jika akta ini tidak mempunyai mekanisme pengawalan komunikasi data yang ketat.

Tuan Yang di-Pertua, fasal 14(1) dengan jelas menyatakan bahawa data atau statistik tidak boleh diterbitkan atau dikomunikasikan tanpa kelulusan Ketua Perangkawan. Saya ingin bertanya kepada Menteri, apakah pihak jabatan akan mengambil tindakan tegas terhadap sesiapa sahaja termasuk ahli-ahli politik yang memetik data secara selektif untuk tujuan provokasi?

Tuan Yang di-Pertua, rakyat Kelantan tidak takut dengan data, rakyat Kelantan tidak takut dengan data. Kami mengalu-alukan statistik yang tepat untuk membentuk dasar pembangunan yang lebih baik, namun kami menolak statistik yang digunakan sebagai alat untuk menanam kebencian.

Jika RUU ini diluluskan, saya mahu Jabatan Statistik Malaysia menjadi pengadil yang saksama. Jangan biarkan data yang dikumpul melalui fasal 12 yang mana rakyat wajib memberikannya dengan ancaman denda sehingga RM50,000 disalahgunakan oleh ahli-ahli politik untuk menjustifikasikan diskriminasi terhadap mana-mana negeri.

Ingatlah, aspek paling kritikal dalam RUU ini adalah kepercayaan awam. RUU ini cuba mewujudkan ekosistem di mana negara mempunyai data yang sangat tepat dan komprehensif untuk penggubalan dasar. Namun, ia perlu dilakukan dengan jaminan bahawa data tersebut tidak akan disalahgunakan untuk tujuan mencabul keharmonian dan perpaduan negara ini.

Jika kepercayaan ini terhakis, keberkesanan akta ini akan terbantut. Lebih- lebih lagi jika rakyat melihat statistik digunakan untuk agenda politik bagi memburukkan negeri tertentu termasuk Kelantan, mereka tidak akan lagi memberikan data yang jujur. Mereka akan melihat setiap pengumpul data sebagai ejen provokasi, bukan ejen pembangunan.

Saya menyeru Ahli-ahli Parlimen, berhentilah memburukkan Kelantan dengan statistik yang dangkal. Kami pun tidak pernah gunakan data untuk memburukkan mana-mana negeri, termasuk negeri DAP walaupun mungkin ada yang boleh dieksploitasi

draft • 3:51 PM

Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng

Yang Berhormat, masa sudah tamat.

draft • 3:51 PM

Tuan Haji Abdul Latiff bin Abdul Rahman - Kuala Krai

Dan kepada Menteri, pastikan RUU Statistik 2026 ini mempunyai gigi untuk menentang penyalahgunaan data oleh ahli-ahli politik sendiri, bukan hanya menjadi alat untuk menekan rakyat marhaen.

Sebagai penutup Tuan Yang di-Pertua, kerajaan boleh mewajibkan rakyat mengisi borang, boleh memaksa rakyat menyerahkan maklumat malah boleh mengenakan denda jutaan Ringgit tetapi kerajaan tidak akan pernah mampu memaksa rakyat untuk percaya. Kepercayaan tidak lahir daripada kuasa, ia lahir daripada integriti. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.

draft • 3:51 PM

Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng

Terima kasih Yang Berhormat Kuala Krai. Saya jemput Yang Berhormat Tanjong Karang.

draft • 3:51 PM

Kapten Dato' Dr. Zulkafperi bin Hanapi (B) - Tanjong Karang

Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Tanjong Karang bangun sekali lagi untuk menyatakan sokongan yang penuh ke atas Rang Undang-undang Statistik 2026 yang mana ia nya amat penting dan tepat pada masanya. Terima kasih kepada Yang Berhormat Menteri Ekonomi atas pembentangan RUU ini yang akan menjadi batu asas kepada transformasi tadbir urus berasaskan data di Malaysia.

Tuan Yang di-Pertua, era hari ini adalah era data ekonomi dan artificial intelligence. Kita tidak boleh lagi menggubal dasar awam atau merangka bajet negara hanya bersandarkan kepada intuisi, andaian mahupun tinjauan yang terhad.

Sebaliknya, setiap sen wang rakyat yang dibelanjakan dan setiap program kebajikan yang digubal mestilah dipandu oleh data yang tepat, dinamik dan real time. RUU ini adalah jawapan kepada keperluan masa depan itu.

draft • 3:58 PM

Kapten Dato' Dr. Zulkafperi bin Hanapi (B) - Tanjong Karang

Tuan Yang di-Pertua, fokus utama RUU Statistik 2026 ini adalah untuk menaik taraf struktur dan pemerkasaan undang-undang kepada Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM). Kita tahu mengikut rekod Open Data Inventory

(ODIN), Malaysia kini berada di kedudukan teratas dunia dalam ketelusan data terbuka. Ini satu pencapaian yang membanggakan. Namun, untuk mengekalkan momentum ini, DOSM memerlukan mandat perundangan yang lebih kukuh.

Melalui RUU ini, peranan Ketua Perangkawan ditingkatkan untuk menyelaraskan ekosistem data, bukan sahaja di peringkat Persekutuan, malah merentasi agensi negeri, pihak berkuasa tempatan. Isu sebelum ini ialah wujudnya silo data, di mana agensi A tidak berkongsi data dengan agensi B kerana kekangan birokrasi atau akta lama. Dengan adanya RUU ini, integrasi data negara dapat disatukan secara sah dan selamat. Ini akan menghapus pertindihan tugas dan menjimat dana kerajaan dalam jangka masa panjang.

[Tuan Yang di-Pertua **mempengerusikan Mesyuarat****] Namun begitu, Tuan Yang di-Pertua, apabila kita bercakap tentang pengumpulan data berskala besar, kebimbangan terbesar rakyat adalah aspek keselamatan dan privasi. Adakah data peribadi kita selamat? Atau, adakah data ini akan disalahgunakan? Saya ingin menegaskan bahawa RUU Statistik 2026 ini mengimbangi keperluan pengumpulan data dengan pelindungan hak privasi individu secara ketat.

RUU ini memperuntukkan tadbir urus keselamatan siber yang selari dengan Akta Perlindungan Data Peribadi dan Akta Keselamatan Siber yang telah kita luluskan baru-baru ini. Hukuman dan penalti yang berat dikenakan terhadap mana- mana pihak yang membocorkan atau memanipulasikan data rasmi negara untuk kepentingan peribadi. Ini penting bagi membina public trust, dengan izin, atau kepercayaan rakyat. Kerana, tanpa data yang jujur daripada rakyat, kita tidak akan mendapat statistik yang tepat.

Tuan Yang di-Pertua, mengapakah statistik yang kuat ini amat kritikal sekarang? Kita baru saja memulakan langkah di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas. Kerajaan sedang beralih kepada pemberian bantuan rakyat yang lebih bersasar seperti bantuan subsidi domestik dan reformasi struktur gaji.

Tanpa sistem statistik yang moden, kita terdedah kepada ralat keciciran, di mana golongan miskin tegar terlepas pandang, manakala golongan yang tidak sepatutnya menerima bantuan pula mendapat manfaat. Statistik yang diperkasakan melalui RUU ini membolehkan microdata dianalisis secara granular.

Kita boleh tahu kawasan Parlimen mana, malah kampung mana yang memerlukan klinik kesihatan baharu atau taburan sekolah interaktif berdasarkan unjuran demografi yang tepat.

Tuan Yang di-Pertua, sebagai kesimpulan, RUU Statistik 2026 bukan sekadar dokumen teknikal mengenai angka dan peratusan. Ia adalah sebuah instrumen keadilan sosial. Data yang tepat akan melahirkan dasar yang adil. Dasar yang adil akan membasmi kesenjangan ekonomi dalam kalangan rakyat. Mari kita tinggalkan cara kerja lama yang bekerja dalam silo. RUU ini meletakkan Malaysia setaraf dengan negara-negara maju yang menggunakan evidence-based policy making, dengan izin.

Oleh itu, saya Ahli Parlimen Tanjong Karang menyeru kepada semua Ahli Yang Berhormat di Dewan yang mulia ini tanpa mengira fahaman politik untuk memberikan sokongan sebulat suara kepada RUU Statistik 2026 demi masa depan pembangunan negara yang lebih telus dan bersasar.

Tuan Yang di-Pertua, Tanjong Karang mohon menyokong. Sekian, terima kasih. Wabillahi taufiq wal hidayah assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Terima kasih.

draft • 4:00 PM

Tuan Yang di-Pertua

Waalaikumussalam. Baik. Sekarang saya jemput Tuaran.

draft • 4:00 PM

Datuk Seri Panglima Madius bin Tangau - Tuaran

Terima kasih, Tan Sri Yang di-Pertua. Saya bangun sebagai wakil rakyat Tuaran untuk mengambil bahagian dalam perbahasan Rang Undang-undang Statistik 2026.

Pada prinsipnya, Tuaran menyokong rang udang-undang ini. Tuaran mengucapkan tahniah kepada kerajaan kerana mengambil langkah memperkukuhkan Jabatan Statistik Malaysia, menubuhkan Majlis Statistik Negara serta mewujudkan satu kerangka perundangan yang lebih moden bagi pengumpulan, pengurusan dan penyebaran statistik rasmi negara.

Dalam dunia hari ini, data merupakan aset strategik sesebuah negara.

Negara yang mempunyai data yang tepat akan membuat keputusan yang tepat.

Sebaliknya, negara yang membuat keputusan tanpa data yang sahih ibarat berlayar tanpa kompas.

Statistik bukan sekadar himpunan angka. Statistik adalah cerminan pada sebenar negara. Ia menunjukkan sama ada dasar kerajaan berjaya atau gagal, sama ada ekonomi berkembang atau merosot, dan sama ada kemakmuran benar-benar dinikmati oleh seluruh rakyat.

Oleh itu, Tuaran percaya Malaysia mesti berubah daripada sebuah negara yang ditadbir berasaskan andaian kepada sebuah negara yang ditadbir berasaskan bukti, evidence-based governance. Dan asas kepada pendekatan ini ialah statistik yang tepat, bebas, telus dan diyakini.

Tan Sri Yang di-Pertua, Tuaran ingin mengemukakan beberapa cadangan penambahbaikan supaya akta ini benar-benar menjadi instrumen pembangunan negara.

Pertama, memelihara kebebasan statistik negara. Statistik negara mestilah bebas daripada sebarang pengaruh politik. Angka kemiskinan mestilah angka sebenar. Angka inflasi mestilah angka sebenar. Angka pengangguran mestilah angka sebenar. Angka pertumbuhan ekonomi mestilah angka sebenar. Kerajaan boleh bertukar, tetapi kebenaran yang dipaparkan oleh statistik tidak boleh berubah mengikut siapa yang memerintah.

Kedua, memperkukuh semangat federalisme. Tuaran mencadangkan supaya Kerajaan Sabah dan Kerajaan Sarawak diberikan keanggotaan tetap dalam Majlis Statistik Negara. Malaysia ialah sebuah Persekutuan. Maka, dasar statistik negara hendaklah digubal dengan mengambil kira pandangan semua wilayah yang membentuk Malaysia.

Ketiga, statistik sebagai asas membasmi kemiskinan. Tuaran mencadangkan supaya Jabatan Statistik Malaysia menerbitkan laporan kemiskinan Malaysia setiap tahun sehingga ke peringkat negeri, daerah-daerah kecil dan, jika sesuai, mukim.

Laporan tersebut hendaklah memaparkan jumlah isi rumah miskin tegar, jumlah isi rumah miskin, kadar kemiskinan, pendapatan isi rumah, asas kepada air bersih, bekalan elektrik, internet, pendidikan, kesihatan dan peluang pekerjaan.

Tuaran memberi perhatian khusus pada daerah-daerah yang masih mencatatkan kadar kemiskinan tertinggi di Malaysia yang sebahagian besarnya berada di Sabah. Jika statistik menunjukkan sesuatu daerah terus ketinggalan dari tahun ke tahun, maka dasar kerajaan juga mesti berubah. Statistik bukan sekadar untuk dibaca, tetapi untuk mendorong tindakan.

Pada masa yang sama, Tuaran mencadangkan supaya senarai ketua isi rumah miskin tegar dan miskin dalam sistem e-Kasih disediakan secara sulit kepada pegawai daerah, Ahli Parlimen, ADUN dan agensi pelaksana yang diberi kuasa.

Tujuannya adalah supaya bantuan dapat diselaraskan dengan lebih berkesan tanpa menjejaskan privasi dan maruah rakyat.

Keempat, statistik strategik negara. Tuaran juga mencadangkan supaya Jabatan Statistik Malaysia menerbitkan laporan tahunan yang lebih komprehensif mengenai isu-isu strategik negara. Antaranya, statistik pelarian Filipina di Sabah mengikut daerah, status, dokumentasi, pendidikan dan pekerjaan.

Statistik keselamatan sempadan termasuk jumlah laluan haram yang telah dikenal pasti, pencerobohan dan tangkapan pendatang tanpa izin, statistik projek- projek sakit mengikut kementerian, negeri dan wilayah. Statistik kompleks pendaratan ikan di seluruh negara dalam pemantauan khusus terhadap Sabah dan statistik kos sara hidup termasuk harga beras dan barangan keperluan asas yang diterbitkan secara berasingan bagi Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

Statistik seperti ini akan membantu kerajaan mengubal dasar yang lebih tepat serta membolehkan Parlimen menilai keberkesanan pelaksanaannya.

Kelima, statistik transformasi ekonomi negara. Tan Sri Yang di-Pertua, Malaysia bercita-cita menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi yang dipacu oleh sektor pembuatan dan industri bernilai tinggi. Oleh itu, Tuaran mencadangkan supaya Jabatan Statistik Malaysia menerbitkan laporan statistik transformasi ekonomi negara setiap tahun. Laporan ini hendaklah mengandungi statistik mengenai sumbangan sektor pembuatan pada KDNK negara mengikut negeri dan wilayah sehingga peringkat daerah dan daerah kecil, jumlah kawasan perindustrian, kadar penggunaan dan jumlah kilang yang beroperasi, peluang pekerjaan diwujudkan, pelaburan domestik dan pelaburan langsung asing (FDI), nilai eksport sektor pembuatan dan produktiviti industri.

Data ini sangat penting untuk mengenal pasti daerah dan negeri yang masih ketinggalan dalam pembangunan industri. Bagi Sabah, statistik ini amat penting kerana kita mahu melihat peningkatan sumbangan sektor pembuatan pada ekonomi negeri dari tahun ke tahun. Kita mahu dasar perindustrian negara diukur berdasarkan pencapaian sebenar, bukan sekadar sasaran di atas kertas.

Keenam, statistik pelabuhan negara. Tuaran mencadangkan supaya prestasi semua pelabuhan di Malaysia dipantau secara berkala melalui statistik rasmi.

Laporan ini hendaklah merangkumi jumlah kontena atau TEU yang dikendalikan, jumlah kapal dan kargo, produktiviti pelabuhan dan sumbangannya pada ekonomi negara dan negeri. Sebagai negeri maritim, Sabah tidak boleh terus berada di pinggir pembangunan logistik negara.

draft • 4:04 PM

Datuk Seri Panglima Madius bin Tangau - Tuaran

Tujuh, laporan strategi negara kepada Parlimen. Tuaran mencadangkan supaya akta ini mewujudkan Ketua Perangkawan, membentangkan laporan statistik strategi negara Dewan Rakyat setiap tahun. Laporan ini hendaklah menjadi dokumen rasmi negara yang mengukur prestasi Malaysia dalam pelbagai aspek.

Dengan cara ini Parlimen dapat menilai prestasi negara dengan berdasarkan bukti dan fakta, bukannya semata-mata berdasarkan persepsi. Kelapan, ketelusan data kutipan hasil dan isu horetan data ataupun data distortion. Isu horetan data ataupun data distortion mengikut lokasi pendaftaran syarikat.

Tan Sri Yang di-Pertua, pada masa ini terdapat kelompangan dengan cara kita merekodkan hasil. Banyak syarikat besar, syarikat perladangan kelapa sawit berskala besar dan ladang-ladang ternakan komersial mempunyai perniagaan dan pengekstrakan hasil sepenuhnya di bumi Sabah.

Namun, syarikat-syarikat ini berasal dan berdaftar mempunyai pejabat di Kuala Lumpur atau Semenanjung. Cukai mereka dibayar dan dikutip di Kuala Lumpur. Soalnya, dalam rekod statistik negara, adakah hasil cukai ini dikreditkan kepada Sabah, tempat kekayaan itu dijana atau kepada Kuala Lumpur tempat pejabat itu beroperasi?

Pencerahan mengenai pengumuman hasil RM10 bilion daripada Sabah, baru-baru ini Kerajaan Persekutuan menyatakan bahawa kutipan hasil dari Sabah adalah sebanyak RM10 bilion. Tuaran ingin memohon pengesahan di Dewan yang mulia ini. Adakah angka RM10 bilion ini telah mengambil kira cukai yang dibayar oleh syarikat-syarikat berstatus office nya di Kuala Lumpur, business in Sabah ini? Jika tidak, bermakna angka RM10 bilion ini tidak mencerminkan langkah sebenar the actual figure sumbangan ekonomi Sabah kepada kantung Persekutuan.

Tuntutan ketelusan dan statistik terperinci. Sehubungan dengan RUU statistik ini, Tuaran menuntut agar Jabatan Perangkaan DOSM dan pihak kementerian membentangkan statistik yang telus. Boleh kementerian memberikan statistik rasmi dan pecahan pungutan hasil cukai daripada syarikat-syarikat kategori ini? Kita memerlukan kaedah pengumpulan data yang mengasingkan lokasi pendaftaran dan lokasi sebenar perniagaan beroperasi supaya polisi pengembalian hasil kepada negeri dapat dibuat dengan adil bersandarkan fakta yang tepat.

Tan Sri Yang di-Pertua, Tuaran ingin mengakhiri ucapan ini dengan satu prinsip yang Tuaran percaya harus menjadi pegangan kita bersama. Pertama, apa yang tidak diukur, tidak akan diberi perhatian. Kedua, apa yang tidak dipantau, tidak akan diperbaiki. Dan ketiga, apa yang tidak dilaporkan, akhirnya akan dilupakan.

Rang Undang-undang Statistik 2026 ini hendaklah menjadi titik permulaan kepada satu budaya pentadbiran baharu. Budaya yang meletakkan fakta mengatasi persepsi. Bukti mengatasi andaian dan integriti mengatasi kepentingan politik.

Sebuah negara yang benar-benar maju bukanlah negara yang menyembunyikan kelemahannya, tetapi negara yang berani mengukur kelemahannya, mengakuinya dan jujur bertindak memperbaikinya. Hanya dengan statistik yang tepat, kita dapat membina dasar yang lebih adil. Hanya dengan statistik yang telus, kita dapat mengagihkan pembangunan adil dan saksama.

Hanya dengan statistik yang diyakini, kita dapat memastikan tiada negeri, tiada daerah, tiada daerah kecil dan tiada seorang pun rakyat tercicir daripada arus pembangunan negara. Dengan semangat itu, Tuaran menyokong Rang Undang- undang Statistik 2026 ini, tertakluk kepada cadangan penambahbaikan yang saya telah kemukakan tadi. Sekian, Tuaran mohon menyokong. Terima kasih.

draft • 4:10 PM

Tuan Yang di-Pertua

Baik, terima kasih. Seterusnya, saya jemput Pasir Salak.

draft • 4:10 PM

Tuan Haji Jamaludin bin Yahya - Pasir Salak

*Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh. [Membaca sepotong ayat al- Quran]* Segala puji bagi Allah yang dengan nikmatnya segala amal soleh menjadi sempurna. Terima kasih Tan Sri Yang di-Pertua. Pasir Salak gembira dapat turut serta dalam membahaskan Rang Undang-undang Statistik 2026 yang menggantikan Akta Perangkaan 1965, Akta 415 iaitu akta yang telah berkhidmat kepada negara selama 61 tahun.

Pertamanya, skop pusat repositori data dan statistik yang tidak terhad. Rang undang-undang ini menyatakan Jabatan Statistik Malaysia nama baharu bagi Jabatan Perangkaan akan menjadi pusat repositori data dan statistik bersepadu yang tidak terhad kepada subjek yang spesifik. Merangkumi bidang sosial, ekonomi, alam sekitar dan bidang-bidang yang lain yang berkaitan.

Tan Sri Yang di-Pertua, ini satu skop yang sangat luas. Fungsi baharu turut termasuk pengumpulan data sekunder, pentadbiran daripada entiti kerajaan.

Bagaimanakah rang undang-undang ini selaras dengan Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (PDPA), apabila data pentadbiran daripada pelbagai kementerian dan agensi yang mungkin termasuk data sensitif seperti kesihatan, pendapatan atau status kewangan rakyat dikumpul secara berpusat?

Adakah rakyat akan dimaklumkan bila data peribadi mereka yang dikumpul oleh satu agensi contohnya JPJ, LHDN, Kementerian Kesihatan Malaysia turut dikongsi dengan Jabatan Statistik Malaysia untuk tujuan repositori bersepadu ini?

Apakah takrifan tepat bidang-bidang lain yang berkaitan?

Adakah ini frasa terbuka yang membenarkan pengembangan skop tanpa had pada masa hadapan tanpa perlu kembali ke Parlimen? Pasir Salak menghargai bahawa fasal 14 fungsi penerbitan dan komunikasi data turut menegaskan kerahsiaan maklumat responden dan larangan penggunaan data untuk tujuan di liabiliti percukaian.

Ini langkah yang baik dan Pasir Salak mengalu-alukannya. Tetapi jaminan ini perlu disokong oleh mekanisme penguatkuasaan yang jelas, bukan sekadar niat baik dalam teks. Yang keduanya, perlindungan undang-undang kepada Menteri dan pegawai.

Peruntukan baharu memberikan perlindungan daripada guaman dan prosiding undang-undang kepada Menteri, anggota Majlis Statistik Negara, Ketua Perangkawan, Timbalan Ketua Perangkawan dan pegawai yang diberi kuasa dalam pelaksanaan fungsi rasmi mereka. Apakah had perlindungan ini? Adakah ia terpakai walaupun berlaku kecuaian dalam pengendalian data?

Seperti kebocoran data akibat kegagalan sistem keselamatan siber jabatan.

Jika data peribadi rakyat bocor akibat kesilapan pentadbiran, apakah saluran pertanggungjawaban yang sedia ada kepada mangsa? Memandangkan pegawai bertanggungjawab dilindungi daripada guaman peribadi.

Pasir Salak faham keperluan perlindungan sedemikian bagi membolehkan pegawai awam melaksanakan tugas tanpa rasa gentar terhadap tuntutan remeh, tetapi imbangan adalah perlindungan yang munasabah dan akauntabiliti mestilah jelas dinyatakan, bukan tersirat. Dan akhir sekali yang ketiga, penubuhan dan komposisi Majlis Statistik Negara. Fasal 7 hingga 11 memperkenalkan Majlis Statistik Negara sebagai badan penasihat tertinggi negara.

Bagi tadbir urus data, ini perkembangan positif dari segi struktur government.

Rang undang-undang tidak menyatakan komposisi keahlian majlis ini. Siapakah yang akan dilantik dan adakah terdapat wakil bebas daripada akademia, badan profesional atau masyarakat sivil atau adakah ia semata-mata badan kerajaan?

Apakah mekanisme ini, mekanisme ketelusan bagi keputusan majlis ini, adakah minit mesyuarat atau keputusan dasar akan didedahkan kepada Parlimen atau orang awam? Jadi kesimpulannya, Tan Sri Yang di-Pertua, Pasir Salak menyokong hasrat memodenkan rangka undang-undang statistik negara selepas 61 tahun. Ini satu usaha yang tidak boleh dilewatkan lagi dan penjenamaan semula sejajar dengan amalan National Statistical Office antarabangsa adalah wajar.

Penubuhan Majlis Statistik Negara dan pengukuhan kelayakan kepimpinan, turut Pasir Salak alu-alukan. Namun sebagai yang Pasir Salak bahaskan dalam Rang Undang-Undang Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia baru-baru ini. Prinsip yang sama Pasir Salak pegang di sini, kuasa mengumpul dan mengawal data rakyat yang diperluas mestilah disertai dengan ketelusan, semakan bebas dan mekanisme akauntabiliti yang setara.

Firman Allah dalam Surah Al-Hujurat ayat 6 mengingatkan kita supaya tabayun iaitu meneliti dengan teliti sebelum bertindak lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan maklumat yang menyentuh kehidupan seluruh rakyat. Sekian terima kasih Tan Sri Yang di-Pertua.

draft • 4:10 PM

Tuan Yang di-Pertua

Baik, seterusnya saya jemput Langkawi.

draft • 4:10 PM

Dato’ Haji Mohd Suhaimi bin Haji Abdullah - Langkawi

Assalamualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh. Terima kasih Tan Sri Yang di-Pertua. Rang undang-undang ini bertujuan menggantikan Angka Perangkaan 1965, Akta 415 yang telah berkuat kuasa selama 61 tahun dan disokong oleh syor kajian Statistic Review of Malaysian Statistical System oleh Bank Dunia pada 2017.

draft • 4:19 PM

Dato’ Haji Mohd Suhaimi bin Haji Abdullah - Langkawi

Keputusan Majlis Ekonomi 2017 serta agenda Pengukuhan Sistem Statistik Negara (PSSN) yang diluluskan Jemaah Menteri pada 2020. Pada hemat saya Tan Sri Yang di-Pertua, penjenamaan semula Jabatan Perangkaan kepada Jabatan Statistik rasanya tidak perlu jika hujahnya ialah penyelarasan mengikut standard antarabangsa. Jabatan ini telah pun dikenali sebagai Department of Statistics Malaysia atau DOSM.

Saya setuju terdapat keperluan mendesak untuk menyelaraskan pengumpulan data daripada sektor awam dan sektor swasta di bawah satu sistem bersepadu. Justeru, terdapat keperluan memperkasakan jabatan itu sebagai pusat repositori tunggal, yang mana data-data sosial, ekonomi dan alam sekitar diintegrasikan dalam satu sistem. Maknanya satu tempat siap utama.

Saya—Tan Sri, saya nak merujuk sikit kepada sistem yang terbaiklah setakat ini, listing kalau kita tengok top 10 listing di dunia ini Singapore, Estonia, Denmark dan lain-lain. Di Singapore itu kalau kita rujuk kepada National Electronic Health Record, saya suka Tan Sri— melihat flow chart data-data ini bergerak. Pesakit pergi klinik atau general hospital, poliklinik, hospital dan lain-lain tempat untuk kesihatan.

Kemudian, makmal akan buat lab test, farmasi, data pergi ke preskripsi ubat, kemudian data pergi juga ke x-ray, CT dan MRI. Kemudian turun ke bawah lagi. Data akan pergi kepada doktor, jururawat, pergi kepada Kementerian Kesihatan (MOH), pergi kepada dashboard operasi hospital. Dashboard operasi hospital pula pengurusan katil, doktor dan temu.

Kemudian di Kementerian Kesihatan, dianalisa populasi dan kesihatan awam, turun lagi kepada doktor dan jururawat, pergi kepada statistik klinikal, turun ke bawah platform AI dan big data dimasukkan elemen-elemen ini ke dalam dan akhirnya ramalan wabak dapat di-trace daripada situ. Ramalan penyakit kronik dapat dipastikan, perancangan bajet, tenaga kerja dan hospital utilities.

Jadi maknanya Tan Sri, data ini bila kita pergi ke satu hospital contoh kalau saya pergi ke Prince Court, maka saya pergi ke tempat lain semua tahu. Kadang- kadang kasihan juga Tan Sri, tiap-tiap minggu bila ada orang pengsan dalam Dewan umum. Mana dia laporan kesihatan? Masih lagi ada 10 orang tak hantar sedangkan kalau ada perkara ini tekan butang sahaja, Mohd Suhaimi Abdullah, IC number semua keluar Tan Sri. Segala apa yang dapat di klinik, di hospital sama ada hospital kerajaan, hospital swasta atau klinik-klinik biasa akan terus ke pusat tersebut.

Jadi alhamdulillah, saya menyokong rang undang-undang ini tapi sekiranya tidak dapat diadakan demikian akan— alangkah ruginya kita sedangkan kita hanya pergi ke Singapura saja untuk melihat perkara ini.

Tan Sri Yang di-Pertua, saya juga ingin bertanya kepada kerajaan, ingin mendapat penjelasan daripada kementerian mengenai PADU iaitu sistem data yang mempunyai tujuan sama seperti yang dinyatakan tadi. PADU juga di bawah kementerian yang sama dengan Jabatan Statistik. Justeru, apakah perbezaan nyata antara PADU dan pusat repositori ini?

Saya ingin menyentuh juga tentang peningkatan kadar denda bagi memastikan pematuhan responden yang melindungi kerahsiaan data di bawah Bahagian IV, fasal 12(5) denda yang dinaikkan sehingga RM50,000 bagi kegagalan responden membekal maklumat atau penyalahgunaan data boleh menimbulkan kegusaran dan penentangan orang awam jika tidak dijelaskan dengan baik.

Saya minta Menteri jelaskan, siapakah prospek responden yang sering dilibatkan dalam pengumpulan data oleh Jabatan Perangkaan ini dan apakah sebelum ini terdapat kes-kes yang mana responden tidak memberikan maklumat secara telus? Saya berpandangan bahawa kerajaan perlu melaksanakan kempen kesedaran yang meluas untuk menjelaskan hak responden dan kepentingan mengisi banci bagi mengelakkan masyarakat merasa terbeban atau dihukum.

Tan Sri yang di-Pertua, bandingkan pula denda ini dengan denda di bawah Bahagian V, fasal 15(2) yang mana denda RM10,000 sahaja diperuntukkan kepada pelanggaran mana-mana peraturan di bawah akta ini. Mengapakah denda kepada responden tidak seimbang dengan denda kepada pegawai kerajaan, sedangkan magnitud kesalahannya sama? Tidak memberikan data yang tepat dan gagal menjaga kerahsiaan maklumat antara samanya— maklumat ini sama teruknya.

Menerusi bab lantikan Ketua Perangkaan Malaysia, rang undang-undang ini menetapkan syarat pelantikan yang sangat spesifik untuk jawatan Ketua Perangkawan Malaysia termasuk memiliki ijazah sarjana dan PhD dalam bidang berkaitan dan sekurang-kurangnya 20 tahun pengalaman berkhidmat dalam bidang statistik.

Saya berpandangan bahawa syarat-syarat ini mungkin terlalu rigid dan menutup peluang kepada pakar teknologi data, data saintis atau peneraju industri teknologi digital yang lebih muda tetapi memiliki kepakaran, kecerdasan buatan AI yang tinggi. Sebelum itu, saya ingin mengucapkan selamat bersara kepada mantan Ketua Perangkawan Negara, Datuk Seri Dr. Mohd Uzair Mahidin yang bersara pada awal bulan ini. Terima kasih Tan Sri Yang di-Pertua.

draft • 4:20 PM

Tuan Yang di-Pertua

Baik, seterusnya saya jemput Batu Gajah.

draft • 4:20 PM

Dr. Sivakumar a/l Varatharaju Naidu - Batu Gajah

Terima kasih Tan Sri Yang di-Pertua kerana memberi peluang kepada saya untuk turut serta dalam perbahasan Rang Undang-undang Statistik 2026. Saya merakamkan penghargaan kepada Kerajaan MADANI kerana membawa rang undang-undang ini bagi memodenkan sistem statistik negara selepas Akta Perangkaan 1965 diguna pakai selama lebih enam dekad.

Tan Sri Yang di-Pertua, statistik mungkin kelihatan seperti angka dan peratusan, namun setiap angka membawa kesan langsung kepada kehidupan rakyat. Data kemiskinan menentukan bentuk bantuan, data pekerjaan menjadi asas kepada Dasar Pasaran Buruh.

Manakala data penduduk membantu kerajaan merancang sekolah, hospital, perumahan dan pengangkutan awam. Kerajaan telah mengambil langkah yang tepat melalui RUU ini untuk memperkukuh pembuatan dasar berasaskan bukti. Tanpa data yang tepat, terkini dan diselaraskan, dasar yang baik sekalipun boleh tersasar dan rakyat yang memerlukan boleh tercicir.

Tan Sri Yang di-Pertua, saya menyambut baik fasal 5 yang menjadikan Jabatan Statistik Malaysia sebagai pusat repositori data dan statistik negara.

Cabaran kita bukan kekurangan data tetapi data yang masih terpisah antara kementerian, agensi, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan.

Repositori ini tidak seharusnya menjadi satu lagi pangkalan data baru. Ia mesti mengurangkan pertindihan, menyelesaikan percanggahan angka dan mengelakkan rakyat serta pihak perniagaan daripada memberi maklumat yang sama berulang kali. Malaysia boleh meneliti pengalaman Denmark dan Finland yang menggunakan pendekatan banci berasaskan daftar pentadbiran. Pendekatan ini membolehkan rekod kerajaan dimanfaatkan dengan lebih teratur dan dikemas kini dengan lebih kerap.

Sehubungan itu saya ingin bertanya kepada Yang Berhormat Menteri Ekonomi, adakah kerajaan bercadang meneliti Denmark dan Finland sebagai model rujukan dalam membangunkan sistem banci berasaskan daftar pentadbiran di Malaysia dan apakah garis masa pelaksanaan bagi perkara ini?

Tan Sri Yang di-Pertua, repositori bersepadu turut membuka ruang kepada penggunaan kecerdasan buatan atau AI. AI boleh membantu mengesan percanggahan data, mengenal pasti corak sosioekonomi dan menghasilkan unjuran dengan lebih pantas. Ini membolehkan kerajaan bertindak lebih awal terhadap isu kemiskinan, pengangguran, kos sara hidup dan perubahan demografi. Dalam memanfaatkan potensi AI, aspek ketepatan, ketelusan dan pengesahan manusia perlu terus diberikan perhatian supaya teknologi ini benar-benar memperkukuh kualiti statistik rasmi negara.

Saya juga ingin mendapatkan penjelasan daripada Yang Berhormat Menteri Ekonomi, apakah perancangan kerajaan untuk mengintegrasikan AI dalam analisis statistik rasmi negara serta memastikan penggunaannya telus, boleh diaudit dan tidak menjejaskan kerahsiaan data rakyat?

Tan Sri Yang di-Pertua, saya turut mengalu-alukan penubuhan Majlis Statistik Negara yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri. Ini menunjukkan bahawa statistik merupakan sebahagian penting dalam tadbir urus strategik negara.

Kejayaannya bergantung pada kerjasama antara kementerian, agensi kerajaan, kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan dan badan berkaitan.

draft • 4:26 PM

Dr. Sivakumar a/l Varatharaju Naidu - Batu Gajah

Standard serta metodologi yang seragam amat penting supaya angka yang diterbitkan tidak bercanggah. Statistik juga perlu diperincikan di peringkat negeri, daerah dan kawasan Parlimen supaya dasar serta peruntukan dapat disasarkan mengikut realiti tempatan bukan berdasarkan purata nasional semata-mata.

Tan Sri Yang di-Pertua, apabila rakyat dan pihak perniagaan diwajibkan memberikan data yang benar, tepat dan lengkap, kerajaan pula memikul amanah untuk memastikan maklumat tersebut tidak bocor dan disalahgunakan. Saya menyambut baik fasal 14 yang melarang data digunakan untuk menentukan tanggungan cukai atau levi. Perlindungan ini penting bagi mengekalkan keyakinan rakyat.

Saya turut mengambil maklum bahawa pelanggaran di bawah fasal 12 boleh membawa denda sehingga RM50,000 manakala pelanggaran kerahsiaan oleh pegawai di bawah fasal 15 boleh membawa denda sehingga RM10,000 atau penjara sehingga dua tahun.

Sehubungan itu mohon Yang Berhormat Menteri Ekonomi menjelaskan mekanisme kawalan aset, audit keselamatan dan pemantauan bagi melindungi data rakyat termasuk apabila akses diberikan kepada pakar luar, kontraktor atau penyedia teknologi. Adakah penalti yang diperuntukkan sudah setimpal dengan sensitiviti data yang dikendalikan? Rakyat akan memberikan data yang tepat apabila mereka yakin bahawa data tersebut turut dilindungi dengan penuh tanggungjawab.

Tan Sri Yang di-Pertua, kesimpulannya saya menyokong Rang Undang- undang Statistik 2026 sebagai langkah penting untuk memodenkan sistem statistik negara dan memperkukuhkan dasar berasaskan bukti. Kejayaannya mesti diukur melalui ketepatan statistik, kerjasama antara agensi, perlindungan kerahsiaan, sejauh mana data membantu kerajaan menyelesaikan masalah rakyat.

Statistik bukan sekadar bahan laporan. Statistik ialah petunjuk realiti apabila datanya tepat, dasarnya juga lebih tepat. Dengan ini saya menyokong Rang Undang- undang Statistik 2026. Sekian, terima kasih.

draft • 4:30 PM

Tuan Yang di-Pertua

Baik. Saya jemput seterusnya Tumpat.

draft • 4:30 PM

Dato’ Hajah Mumtaz binti Md Nawi - Tumpat

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih Tan Sri Yang di-Pertua. Saya membahaskan Rang Undang-undang Statistik 2026 kerana negara kita memerlukan satu sistem statistik yang moden, lebih selamat dan lebih diyakini.

Seksyen 2 RUU menyentuh fungsi kritikal statistik mengikut peringkat negeri dan wilayah dalam merancang dan membangunkan Malaysia mengikut negeri masing-masing. RUU Statistik ini sepatutnya pada hari ini dapat mengeluarkan satu harmoni yang baru untuk menambah baik keadilan agihan pembangunan untuk menjamin kesaksamaan semua negeri. Adakah statistik mampu mengecilkan jurang pembangunan antara negeri dan negara dalam sebuah Persekutuan?

Sama ada negara kita ini mengamalkan simetri ataupun telemetri ataupun gabungan kedua-duanya, satu formula baharu agihan sumbangan, geran atau pembiayaan perlu dicari kerana hari ini telah pun berbeza dari segi kos, dari segi bahan baharu, sumber baharu, keperluan mengikut negeri masing-masing. Dalam sejarah agihan kita melihat berlaku agihan yang tidak equitable sebelum ini.

Malaysia adalah sebuah negara Persekutuan, kita bukan unitary.Walau bagaimanapun bila kita lihat kepada maklumat ataupun info berkenaan dengan statistik, kita dapati bahawa dalam negara kita sekalipun kita ini merupakan negara pada awalnya masing-masing simetri sepatutnya menerima data yang sama tetapi hari ini kita dapati bahawa kerajaan negeri hanya dapat mengutip sekitar 10.4 peratus daripada keseluruhan hasil kerajaan pada tahun 2022.

Bermaksud hampir 90 peratus hasil kerajaan tertumpu di Persekutuan.

Menjadikan Malaysia sebagai Persekutuan paling berpusat dari segi fiskal dibandingkan dengan Switzerland 62.7 peratus, Kanada 73.2 peratus. Ini menunjukkan jurang besar tahap desentralisasi fiskal Malaysia berbanding negara Persekutuan lain. Begitu juga dengan jurang kutipan hasil. Pada tahun 2024 jumlah hasil semua negeri hanya sekitar 34.3 bilion bersamaan kira-kira 1.8 KDNK dalam tempoh yang sama hasil Kerajaan Persekutuan sekitar 16.8 KDNK.

Kenapa ini penting? Kerana dari segi analisa statistik keadaan sedia ada rakyat sebagaimana yang disebut oleh Batu Gajah tadi bahawa rakyat kita di Tumpat dan rakyat kita di Tawau perlu dibuat berdasarkan keperluan semasa bukan hanya kepada agihan yang diperuntukkan dalam Perlembagaan semata-mata.

Laporan ini bertujuan untuk mencari— bukan mencari negeri mana yang lebih untung atau rugi tetapi menjadi asas kepada dasar pembangunan negeri lebih adil, lebih seimbang. Dan kita lihat pada hari ini bagaimana jumlah perbelanjaan pembangunan Persekutuan mengikut negeri perlu dibentangkan di Parlimen dan saya mencadangkan, Tumpat mencadangkan agar laporan ini dibuat di Parlimen secara objektif supaya Parlimen menjadi pangkalan statistik rasmi untuk menilai perkara tersebut secara objektif.

Seterusnya ialah berkenaan dengan ekosistem. Ekosistem statistik Persekutuan dan negeri yang lebih tersusun di bawah RUU ini di bawah seksyen 7 mencadangkan perlu wujudnya Majlis Statistik Negara. Dan saya mencadangkan supaya mewujudkan ekosistem statistik Persekutuan dan negeri di mana ditubuhkan Majlis Statistik dan Data Negeri di setiap negeri bagi menyelaras keperluan data antara DOSM, UPEN dan agensi-agensi negeri. Agenda ini penting untuk menyelaraskan sistem statistik negara yang sedang diperkasakan dan laporan statistik fiskal negeri secara berkala perlu dibuat.

Dan yang ketiga, bagaimanakah hubungan di antara kepakaran statistik dan aktuari dalam perancangan bajet negara? RUU Statistik tidak hanya memperkukuhkan pengumpulan data tetapi juga membawakan kapasiti dari segi analitik kerajaan. Apa yang berlaku, apa yang mungkin berlaku pada masa hadapan, jadi kedua-dua ini perlu digabungkan sekali. Negara seperti UK, Kanada, Australia dan New Zealand telah pun menggunakan penggerakan ini iaitu analisis statistik dan aktuari secara meluas dalam pengiraan belanjawan.

Jadi persoalan saya adakah kerajaan akan memperkenalkan ataupun memperluaskan fungsi statistik rasmi supaya negara kita bukan hanya mengumpul dan mereka data, malah mengintegrasikan analisis aktuari dalam perancangan fiskal dan belanjawan negara termasuk unjuran liabiliti pencen subsidi sebagainya untuk membantu negara kita bagi mencapai keputusan yang lebih baik di dalam perancangan negara.

Justeru, Tumpat mencadangkan agar kerajaan menubuhkan Pusat Analisis Statistik dan Risiko fiskal Nasional yang menggabungkan kepakaran DOSM, Kementerian Kewangan, Kementerian Ekonomi dan Bank Negara Malaysia.

Mewajibkan setiap belanjawan negara sertakan laporan penilaian risiko fiskal dan aktuari yang akan menganjurkan liabiliti kerajaan dalam tempoh 10 hingga 30 tahun.

Dan yang terakhir, memperkukuhkan kerjasama antara DOSM, Jabatan Perkhidmatan Awam, KWSP, PERKESO, Bank Negara serta institusi akademik bagi membolehkan model unjuran fiskal yang lebih tepat dan membantu negara kita mencapai objektif dan tujuan feudalisme yang lebih baik. Terima kasih.

draft • 3:32 PM

Tuan Yang di-Pertua

Baik, seterusnya saya jemput Kapar.

draft • 3:32 PM

Dr. Hajah Halimah Ali - Kapar

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan selamat sejahtera. Terima kasih Tan Sri Speaker.

Saya pertamanya mengucapkan tahniah kepada pihak kementerian khususnya Jabatan Perangkaan Malaysia atau Jabatan Statistik Malaysia, istilah baharu kerana menghasilkan satu dokumen yang sebegini. [Mengangkat naskhah dokumen Jabatan Statistik Malaysia] Yang ini khas untuk Kapar 2025. Tetapi saya sikit terkilan, saya tidak tahu sama ada ini satu pembaharuan ataupun sebelum- sebelum ini pun begitu juga.

Kapar sekarang ini ada 330,600 orang penduduk. 2024, eh bukan sekarang, 2024. Dan yang saya musykil sedikit ialah kumpulan etnik warganegara mengikutkan klasifikasi di dalam laporan ini dia mengata, lain-lain poin lima, Indian 10.6, Cina 10.1, bumiputera 79.1 peratus.

Persoalan saya orang Kapar kalau dia Melayu dia tidak cakap saya bumiputera, dia cakap dia Melayu. So, persoalan saya kepada DOSM, kenapa tidak dikategorikan seperti yang sebenarnya? Sebab penduduk Kapar ini ramai. Jadi saya hendak rancangkan dan jabatan agensi kerajaan, ketua komuniti di dalam apa itu dia lain, kalau bumiputera itu lain. Saya quote di dalam Dewan yang mulia ini dulu orang Sabah sahaja, pengundi Sabah sahaja bukannya anak-beranaknya, pengundi Sabah saja 2,000 lebih di Kapar. Kalau Sarawak 600 lebih itu pengundi di Sabah, Sarawak.

Jadi yang Melayu ini dia hendak masuk dekat mana? Jadi saya minta tolong lah, tolong perincikan betul-betul. Saya tak tahu, saya nampak ini di Kapar sahaja saya tidak tahu yang lain itu macam manalah kan.

Jadi Pengerusi, saya mengambil bahagian dalam perbahasan Rang Undang- undang Statistik 2026 ini pertama saya bersetuju bahawa Malaysia memerlukan sistem statistik yang moden, pantas dan berkualiti. Dalam era kecerdasan buatan

(AI), ekonomi digital dan data raya, big data statistik bukan semata-mata angka, percentage dan sebagainya. Statistik menentukan dasar peruntukan belanjawan dan hala tuju pembangunan negara.

Jadi saya ingin membangkitkan tiga perkara utama. Pertama, kebebasan dan integriti statistik negara. Statistik mestilah bebas daripada campur tangan politik.

Rakyat hanya akan yakin kepada angka kerajaan jika mereka yakin proses pengumpulan, analisis dan penerbitannya benar-benar profesional dan bebas.

draft • 4:36 PM

Dr. Hajah Halimah Ali - Kapar

Sekiranya kadar kemiskinan, inflasi, pengangguran atau pertumbuhan ekonomi boleh dipengaruhi oleh kepentingan politik, maka seluruh sistem perancangan negara akan hilang kredibiliti. Jadi soalan kepada Menteri, apakah jaminan undang-undang bahawa Ketua Perangkawan mempunyai autonomi profesional? Kita memberikan yang terbaik kepada Ketua Perangkawan. Let them do their work, they are professional. Apa autonominya dan tidak boleh dipengaruhi oleh mana-mana pihak dalam menentukan metodologi, masa penerbitan atau kandungan statistik rasmi negara.

Kedua, data rakyat mesti dilindungi. Saya pun nak tahu juga, apa jadi kepada data PADU itu? Hari ini kerajaan mengumpul data daripada pelbagai sumber, PADU dan lain dan sebagainya. Persoalannya ialah, bagaimana data itu digunakan? Dalam zaman AI, kebocoran data bukan lagi soal kemungkinan tetapi realiti. RUU ini mesti memberi keyakinan bahawa data individu tidak akan digunakan di luar tujuan statistik, tidak akan dikongsi secara sewenang-wenangnya dan mempunyai mekanisme audit yang ketat. Saya mencadangkan supaya setiap perkongsian data antara agensi diwajibkan melalui proses audit bebas serta laporan tahunan kepada Parlimen. Data rakyat adalah amanah.

Ketiga, statistik mesti sampai kepada rakyat bukan sekadar berada dalam laporan. Hari ini banyak data diterbitkan tetapi sukar difahami. Apa gunanya mempunyai ribuan jadual statistik jika usahawan kecil, petani, nelayan, pelajar dan pihak berkuasa tempatan tidak dapat memanfaatkannya.

Saya mencadangkan supaya semua statistik utama diterbitkan dalam format data terbuka (open data) yang mudah diakseskan oleh penyelidik, universiti, industri dan rakyat. Saya setuju apa yang disebutkan oleh Langkawi tadi. Jadi, lebih banyak data yang boleh diakses secara sah akan menghasilkan lebih banyak inovasi, penyelidikan dan peluang ekonomi. Sikit minta sikit lagi pengerusi, last day. Akhir sekali, saya ingin mengingatkan bahawa statistik bukan sekadar mengukur kejayaan kerajaan, ha minta maaf ya, jangan koyak. Statistik juga mesti berani mendedahkan kelemahan kerajaan. Kalau angkat menunjukkan kemiskinan meningkat, kita laporkan macam dalam ini [Sambil menunjukkan sebuah buku] Kapar ini meningkat, jangan kata tidak apa, ini makin kurang.

Kalau pengangguran belia meningkat, kita laporkan. Kalau jurang pendapatan semakin melebar, kita laporkan kerana dasar yang baik hanya boleh dibina di atas data yang benar, bukan data yang indah. Statistik yang tepat melahirkan dasar yang tepat, statistik yang dipolitikkan akan menghasilkan dasar yang tersasar.

Dengan semangat itu saya berharap RUU ini benar-benar memperkukuh integriti statistik negara, meningkat kepercayaan rakyat dan menjadikan Parlimen ini sebagai penerima laporan statistik yang telus serta bebas. Sekali lagi, tolong perbetulkan kategori ini ya Menteri. Terima kasih Tan Sri Speaker.

draft • 4:40 PM

Tuan Yang di-Pertua

Baik. Saya jemput Beruas.

draft • 4:40 PM

Dato’ Ngeh Koo Ham - Beruas

Terima kasih Tan Sri Yang di-Pertua.

Sungguhpun pembangkang dan pihak kerajaan jarang bersetuju, saya setuju dengan Kapar tentang definisi atau takrif etnik itu mesti tepat.

Tan Sri Yang di-Pertua, terima kasih kerana membenarkan saya membahas Rang Undang-undang Statistik 2026. Jabatan Perangkaan Malaysia mesti membuat laporannya mengikut undang-undang negara.

[Sambil menunjukkan sebuah buku] Daripada salinan laporan yang saya baru terima, saya mendapati ia ini tidak dipatuhi kerana dalam laporan ini kaum atau etnik perkataan “bumiputera” telah digunakan dan bukan Melayu seperti yang ditakrif dan digunakan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Perkataan “bumiputera” tidak wujud dalam mana-mana undang-undang di Malaysia tetapi perkataan “Melayu" ditakrif dan diperuntukkan dalam Perkara 160(2) Perlembagaan Persekutuan. Dalam takrif tersebut seorang Melayu dalam peruntukan ini mesti memenuhi lima syarat:

(i) dia mesti beragama Islam;

(ii) dia mengamalkan adat istiadat dan budaya Melayu;

(iii) dia bertutur bahasa Melayu;

(iv) dia mesti dilahirkan atau domisil sebelum Hari Merdeka dalam Persekutuan atau Singapura; dan

(v) atau zuriat seseorang sedemikian.

Jadi, takrif Melayu itu sangat jelas. Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan mengiktiraf kedudukan orang Melayu dan anak negeri atau orang asal Sabah dan Sarawak. Orang Islam daripada Bangladesh, Indonesia, Filipina, orang Rohingya atau orang-orang Islam dari mana-mana negara yang lain yang boleh bertutur bahasa Melayu, mengamalkan kebudayaan orang Melayu tetapi bukan domisil atau dilahirkan di Persekutuan atau Singapura sebelum Hari Merdeka dan bukannya zuriat orang-orang sedemikian, bukannya orang-orang yang patut diberi keistimewaan.

Jadi, jika Jabatan Statistik silap dalam penakrifan kumpulan yang mempunyai kedudukan istimewa, keutamaan keperluan sumber dan kekayaan negara akan disalurkan kepada kumpulan yang salah. Orang Melayu sebenar yang perlu pertolongan tidak ditolong tetapi pekerja asing atau orang asing yang hanya datang ke Malaysia baru-baru ini diberi keutamaan.

Mereka diberi keutamaan mengatasi semua rakyat Malaysia lain yang sudah di Malaysia banyak generasi hanya kerana mereka diklasifikasikan sebagai bumiputera. Sebab itu saya mohon kesilapan ini dibuat dengan segera. Kalau tidak, kita tidak tolong mereka yang patut ditolong tetapi orang-orang asing pula yang mendapat keutamaan. Terima kasih Tan Sri Yang di-Pertua.

draft • 4:43 PM

Tuan Yang di-Pertua

Baik. Seterusnya saya jemput Beaufort.

draft • 4:43 PM

Datuk Hajah Siti Aminah binti Aching - Beaufort

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Terima kasih Tan Sri Yang di-Pertua atas ruang dan peluang yang diberikan kepada Beaufort untuk turut serta membahaskan Rang Undang-undang Statistik 2026 sebagai pembahas terakhir pada hari ini.

Tan Sri Yang di-Pertua, Rang Undang-undang Statistik ini bertujuan menggantikan Akta 1965 dengan kerangka baharu yang memperkukuh tadbir urus statistik negara serta menubuhkan Majlis Statistik Negara dan memperluas fungsi Jabatan Statistik Malaysia sebagai pusat repositori data rasmi negara. Beaufort menyokong Rang Undang-undang Statistik ini kerana percaya dasar yang baik hanya dapat dibentuk melalui data yang tepat, lengkap dan boleh dipercayai.

Namun Tan Sri Yang di-Pertua, cabaran pada negara hari ini bukan lagi kekurangan data, cabaran sebenar ialah bagaimana data itu diterjemahkan kepada tindakan dan dasar yang benar-benar memberi manfaat kepada rakyat. Setiap tahun Jabatan Perangkaan Malaysia atau DOSM menerbitkan ratusan laporan berkaitan ekonomi, kemiskinan, kos sara hidup, tenaga buruh, pendidikan, kesihatan dan pembangunan wilayah.

Persoalannya, sejauh manakah semua data ini benar-benar dijadikan asas kepada keputusan kerajaan? Sekiranya statistik hanya berakhir sebagai laporan kementerian, maka angka tersebut tidak memberi apa-apa makna kepada rakyat.

Tan Sri Yang di-Pertua, Sabah mempunyai cabaran geografi yang sangat berbeza daripada negeri-negeri lain. Penempatan penduduk yang berselerak, kawasan pedalaman yang sukar diakses, perkampungan pulau-pulau kecil serta jaringan jalan raya yang masih terhad menjadikan proses pengumpulan data jauh lebih mencabar. Sedangkan statistik inilah yang menjadi asas kepada pembangunan di suatu kawasan.

Fasal 5(1)(b) memberikan tanggungjawab kepada Jabatan Statistik Malaysia untuk mengumpul dan mentafsir data bagi tujuan pembentukan dasar kerajaan.

draft • 4:47 PM

Datuk Hajah Siti Aminah binti Aching - Beaufort

Justeru, saya ingin bertanya kepada Menteri, apakah mekanisme baharu yang akan diperkenalkan supaya proses pengumpulan data di kawasan luar bandar dan pedalaman Sabah lebih menyeluruh, lebih kerap diperkemas kini dan benar- benar mencerminkan keadaan sebenar di lapangan?

Tan Sri Yang di-Pertua, rang undang-undang ini memberi penekanan kepada proses pengumpulan dan penerbitan statistik melalui fasal 5, fasal 12, fasal 13 dan juga fasal 14. Namun, saya melihat satu kekosongan yang amat ketara. Kita memperkukuhkan proses menghasilkan data tetapi kita belum mewujudkan mekanisme yang memastikan kementerian benar-benar mempergunakan data tersebut sebagai asas membuat keputusan.

Selama bertahun-tahun data rasmi DOSM menunjukkan jurang pembangunan ketara antara Sabah dan negeri-negeri masih wujud. Malah melalui platform OpenDOSM Kawasan-kawasanku, kerajaan sendiri memaparkan indikator pembangunan seperti akses bekalan elektrik, bekalan air bersih, sekolah, hospital, klinik kesihatan, internet dan kemudahan awam sehingga ke peringkat kawasan Parlimen.

Ini menunjukkan kerajaan sebenarnya mempunyai data yang sangat terperinci. Persoalannya, jika data tersebut telah lama tersedia mengapakah masih banyak kawasan luar bandar Sabah yang berhadapan dengan masalah bekalan air, jalan raya, internet dan kemudahan asas yang belum memuaskan?

Saya mencadangkan supaya Majlis Statistik Negara di bawah fasal 9 bukan sahaja menyelaras statistik negara tetapi turut diberikan tanggungjawab membentangkan laporan tahunan kepada Parlimen mengenai sejauh mana data rasmi kerajaan diterjemahkan kepada pelaksanaan projek pembangunan oleh setiap kementerian?

Tan Sri Yang di-Pertua, data rasmi DOSM menunjukkan kadar kemiskinan negara terus menurun. Namun pada masa yang sama, Sabah masih merekodkan kadar kemiskinan tertinggi di Malaysia iaitu 17. 7 peratus. Manakala kadar kemiskinan luar bandar Sabah masih mencecah 24.7 peratus.

Sabah juga merekodkan kadar kemiskinan tegar tertinggi sebanyak 0.7 peratus jauh mengatasi kebanyakan negeri lain. Ini membuktikan bahawa walaupun statistik nasional menunjukkan peningkatan, realiti yang dihadapi rakyat Sabah masih sangat berbeza. Begitu juga dengan kos sara hidup, kos pengangkutan, kos logistik dan harga barangan di Sabah jauh lebih tinggi kerana faktor jarak dan rantaian bekalan.

Namun, ukuran Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) dan sebahagian indikator khusus kos sara hidup masih banyak bergantung kepada purata negeri atau purata nasional. Boleh saya minta masa lagi Tan Sri?

draft • 4:50 PM

Tuan Yang di-Pertua

Ya, silakan.

draft • 4:50 PM

Datuk Hajah Siti Aminah binti Aching - Beaufort

Terima kasih. Saya mencadangkan supaya di bawah fasal 5(1)(d) DOSM membangunkan indeks kos sara hidup mengikut daerah khususnya bagi Sabah dan Sarawak supaya bantuan kerajaan benar-benar disasarkan kepada mereka yang memerlukan. Kerana hakikatnya kos hidup di Nabawan, Tongod atau Pitas tidak sama dengan kos di Kota Kinabalu apa lagi di Kuala Lumpur.

Tan Sri Yang di-Pertua, pelaksanaan subsidi bersasar melalui BUDI atau petrol dan BUDI Diesel membuktikan bahawa sesuatu dasar hanya akan berkesan jika berasaskan data yang tepat, terkini dan mencerminkan realiti sebenar.

Di Sabah, penggunaan diesel tidak boleh dinilai berdasarkan purata nasional.

Nelayan memerlukannya untuk di kawasan menangkap ikan yang lebih jauh manakala pekebun kecil bergantung kepada diesel bagi menggerakkan traktor, pam air dan jentera pertanian. Malah, ada keluarga di luar bandar yang terpaksa berulang- alik melebihi 100 kilometer sehari melalui jalan yang mencabar untuk bekerja, menghantar anak ke sekolah dan mendapatkan perkhidmatan asas.

Di Sabah, diesel bukan satu pilihan tetapi satu keperluan. Dalam masa yang sama, ramai rakyat daripada golongan B40 menggunakan kenderaan secara sambung bayar walaupun mereka ialah pengguna sebenar dan menanggung sendiri kos bahan api, nama pada geran masih didaftarkan atas pemilik asal.

Akibatnya, apabila kelayakan BUDI Diesel dan SKDS ditentukan berdasarkan padanan MyKad dengan rekod JPJ, mereka tercicir daripada menerima subsidi.

Saya memahami kerajaan tidak boleh mengiktiraf pemilikan kenderaan yang tidak mematuhi undang-undang. Namun, realiti sosioekonomi masyarakat luar bandar Sabah juga tidak boleh diketepikan kerana ramai terpaksa menggunakan kaedah tersebut akibat kekangan kewangan.

Justeru, jika formula subsidi terus bergantung kepada data yang tidak dikemas kini atau pendekatan yang terlalu umum, dasar yang dilaksanakan tidak akan mencerminkan keperluan rakyat sebenar sebagaimana fasal 12(3) mewajibkan maklumat yang dikemukakan kepada Jabatan Statistik Malaysia adalah benar, tepat dan lengkap. Prinsip yang sama juga wajar diterapkan dalam pelaksanaan dasar supaya data yang digunakan sentiasa dikemas kini dan benar-benar mencerminkan keadaan di lapangan.

Tuntasnya, saya berharap pelaksanaan akta ini akan memperkukuhkan budaya evidence-based policymaking dengan izin supaya setiap keputusan kerajaan termasuk berkaitan subsidi pembangunan dan kesejahteraan rakyat dibuat secara lebih adil, tepat dan inklusif. Dengan itu, saya menyokong Rang Undang-undang Statistik 2026. Sekian, terima kasih.

draft • 4:50 PM

Tuan Yang di-Pertua

Baik, ada permintaan khas dari Arau saya luluskan.

Silakan.

draft • 4:50 PM

Dato’ Seri Dr. Shahidan bin Kassim - Arau

Terima kasih.

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh rakyat Malaysia, orang muda, terima kasih. Yang Berhormat Speaker yang dikasihi, sebenarnya saya beberapa hari ini berdebar-debar. Saya naklah yang penghabis datang itu Speaker sebab dia akan ada ucapan-ucapan murni untuk rakyat Malaysia.

Saya kata di mana Speaker pergi? Mungkin pergi ke mana-mana. Jadi doa saya Allah makbul, Yang Berhormat berada di sana. Sudah pasti bagilah ucapan yang murni. Lihatlah perpaduan yang sedang berlaku sekarang, terutamanya UMNO dan PAS ini kan. Jangan kalau mereka bersatu padu, jangan kita pi pergi cari jalan untuk nak memecahbelahkan atau mengata-ngata. Berdoa semua rakyat Malaysia bersatu padu.

Jadi, dengan itu barulah kerajaan itu nama Kerajaan Perpaduan. Kalau tidak, kerajaan ini separuh perpaduan, tidak sepenuh perpaduan. Jadi, itu sebab saya berdoa supaya Speaker datang sebab kata-kata murninya akan memberi semangat kepada kita untuk turut bersatu padu.

Kita mula dengan PAS dengan UMNO, lepas itu yang lain-lainlah datang kemudian, PKR pun boleh datang. Kalau tidak— tapi Menteri UMNO tinggal sorang petang ini ya. Ya, mana? Wallahualam. Jadi, begitulah tak apa. Timbalan Menteri pun boleh naik ke atas.

Saya menyokong dan saya suruh buat pindaan perkataan “Menteri”. Tiba-tiba hari ini yang penghabis Perdana Menteri terus. Pengerusinya Perdana Menteri sebab semua pelantikan itu dibuat oleh Menteri. Menteri lantik pengerusi, lantik jawatankuasa sampai kita pening perkataan Menteri digunakan. Daripada MCMC, kemudian kelmarin Menteri, hari ini Perdana Menteri terus.

Alhamdulillah, Perdana Menteri lantik lapan Menteri memang betul dah. Ini statistik mesti dikawal oleh kerajaan. Kerajaan yang angkat sumpah. Orang yang nak masuk mana-mana agensi itu suruh angkat sumpah. Ini bila time angkat sumpah, belum mesyuarat habis dia dah SMS kat orang angkat sumpah supaya apa sahaja yang boleh membolehkan kita menyimpan rahsia.

Statistik ini cukup penting, kita kena simpan rahsia. Jadi, Jabatan Statistik Negara ini lagi hebat. Pengerusi semua ini ialah Perdana Menteri sendiri termasuk semua anggota lapan Kabinet dan lain-lain lagi tetapi Ketua Perangkawan itu dilantik oleh Agong. Jadi, ini menunjukkan bahawa cukup penting di jabatan ini kerana Agong sendiri yang melantik apa ini ketua statistik ini untuk mengendalikan apa ini perangkaan statistik di Malaysia.

Jadi, kita rasa kita boleh sokong dengan baik dan Perdana Menteri dilantik lepas Menteri itu tidak wajar. Bila kami jadi Perdana Menteri, kami pun lantik lapan Menteri lagi macam itulah. Dia jenis berterusan dari masa ke semasa ya. Jangan pergi pakai— ingat benda ini tak apa, itu tak mustahil. Mungkin naib Speaker boleh terus jadi Speaker dengan syarat buat baik dengan kami lah, jangan berbeza parti ya.

Sebab Speaker bagus, jadi dengan itu kita boleh teruskan. Jadi, kita boleh menyokong 41 ini, kita sokong terbaik. Tapi hat dua hari yang lepas saya mempertikaikan kenapa perkataan “Menteri” itu tak ditukar kepada “Parlimen” kerana kerajaan sekarang kerajaan reformasi dan reformasi ini kita panggil reformasi sekerat, separuh. Sebab apa? Tidak dilaksanakan dengan sepenuhnya.

Dulu kata nak buang perkataan “Menteri” tak buang. Dulu nak buang Akta MKN— saya Menteri yang membentangkan Akta MKN, kita akan buang. Dia tak buang, dia cuma tukar kuasa Perdana Menteri kepada Agong.

Jadi banyak benda-benda yang tak ditunaikan tapi yang paling teruk sekali Tan Sri, di hari terakhir nak maklum bahawa kami Ahli-ahli Parlimen lagi sekali nak mengatakan kami sedih, kesal dan kami akan terus berdoa semoga PM lembut lah hatinya untuk memberi peruntukan kepada Ahli Parlimen supaya dia mati orang kata mati mata tertutup, tak mati mata terjegil sebab apa? Tak menunaikan tanggungjawab. Ini Ahli Parlimen.

draft • 4:55 PM

Dato’ Seri Dr. Shahidan bin Kassim - Arau

Ini Bera ada sini, bekas Perdana Menteri. Perdana Menteri hadir di saat perabih, di akhir persidangan. Hadir, alhamdulillah. Dia bagi peruntukan, betul tak?

Kepada semua Ahli Parlimen dan itulah reformasi yang besar, walaupun kerajaannya bukan reformasi tetapi dia bagi peruntukan semua kepada Ahli Parlimen terutamanya DAP, Yang Berhormat.

Itu menyentuh sikit tentang statistik yang kepentingannya. Kemudian, tentang pelantikan di bawah 72, ini setuju. Tentang fungsi, ini saya nak sebut sikit Yang Berhormat Tuan Pengerusi ya. Dia membuat kajian statistik berhubung rakyat Malaysia. Rakyat Malaysia ini kena dibuat kajian yang terperinci supaya rakyat faham, rakyat Malaysia, inilah kedudukannya.

Contohnya ialah dari demografi penduduk Malaysia. Orang-orang bumiputera ada 70 peratus, kena bagi tahu. Orang-orang Islam ada 63 peratus, sekarang akan meningkat kepada 64 peratus daripada segi kelahiran dan sebagainya. Orang-orang Cina ada 22.7 peratus, orang India 6.6 peratus. Lain-lain orang itu seperti angka yang saya telah sebutkan. Ini kena diketahui. Dengan itu, acuan pembentukan rupa bentuk Malaysia yang hebat dan dahsyat ini boleh diketengahkan. Yang saya seronok sebab apa, di bawah pemerintahan kerajaan yang dipimpin oleh Melayu dan bumiputera, semua orang hidup senang lenang, tidak ada masalah.

Orang-orang yang kaya seperti sekarang contoh macam Robert Kuok yang kata kerana ada ladang tebu di Perlis dahulu, sekarang tak ada dah. Tetapi kekayaannya bermula di situ, kerana pemerintahan oleh orang-orang Melayu ini, berjaya untuk memberi keadilan kepada semua. Ini kita nak sebut benda ini. Bukan boleh sebut, orang kata ini rasis. Rasis taik minyak pit apa?

Saya cakap ini ialah tentang kebenaran dan statistik harus mempertahankan untuk membentuk rupa bangsa yang bersatu padu, walaupun setengah orang kata kita jangan kira rupa bangsa. Itu tak apa. Tapi saya, bangsa saya Melayu. Bangsa Hannah Yeoh, Cina sebagai contoh. Tapi ada juga orang hendak anak-anak mereka buh nama bangsa Malaysia. Itu tak ada masalah, yang paling penting kita tahu bahawa ini statistik yang sebenarnya.

Sekarang saya nak tanya Yang Berhormat, ini PADU itu buat kajian. Apa dah jadi dengan PADU? Sekarang Menteri baru, mungkin nak bubuh nama ‘bersama’ pula ke? Ataupun ‘sama’? hat dulu buh nama PADU, tubuh parti SAMA, hat sekarang orang? Ya, tubuh lah apa-apa tapi saya nak tanya, apa yang terjadi pada PADU dan kita telah membelanjakan wang begitu banyak dan kita tahu bahawa angka ini sekali, angka ini mesti dipegang oleh kerajaan dan rakyat Malaysia dan kena dijaga sebab statistik tentang rakyat Malaysia ini, kita tak boleh berleluasa.

Macam kelmarin, saya nak cuba cakap tentang bawah umur 16 tak boleh main TikTok tapi sudah pasti mereka akan minta IC dan IC kita, kita bagi kepada TikTok. Itu yang tak wajar kita buat dan TikTok bukan dikawal oleh orang Malaysia, TikTok dikawal oleh seorang negara jiran. Saya tak boleh sebut yang itu lagi, sebab ini senjata saya terakhir, masa kempen pilihan raya nanti.

Jadi, bukan dipunyai oleh orang Malaysia. Yang itu kena berhati-hati. Jadi demikianlah saya nak bagi ucapan sikit tentang perkara ini Tan Sri, bahawa saya menyokong dengan hebat dan dahsyatnya, tapi yang paling penting ialah kita kena pastikan bahawa statistik rakyat Malaysia ini boleh dijadikan acuan untuk perpaduan rakyat Malaysia yang lebih besar. Kita nak tunjukkan bahawa di bawah pemerintahan sebuah kerajaan yang dipimpin oleh orang Melayu itu, telah berjaya memberi keadilan kepada semua rakyat Malaysia. Terima kasih. Assalamualaikum.

draft • 5:00 PM

Tuan Yang di-Pertua

Baik. Arau ialah penamat dan penutup kepada perbahasan kita. Untuk itu, saya menjemput Menteri untuk respons dan menjawab.

Menteri diberi 25 minit. Silakan.

draft • 5:00 PM

Menteri Ekonomi - Tuan Haji Akmal Nasrullah bin Mohd Nasir

Baik, terima kasih Tan Sri Yang di-Pertua. Pertama sekali, saya ingin merakamkan ucapan penghargaan kepada kesemua 21 orang Ahli Parlimen yang telah mengambil bahagian dalam perbahasan untuk RUU Statistik pada hari ini. Jadi, ada beberapa kategori yang mungkin saya cuba jawab, yang mana kalau kita lihat tadi, mungkin untuk slot yang pertama, saya akan sentuh soal keperluan dan perkara-perkara umum berkaitan dengan RUU.

Yang kedua, dari segi ada sedikit pertanyaan soal teknikal terutamanya dalam isu repositori, isu keselamatan, kerahsiaan. Yang ketiga adalah mengenai pemegang taruh contohnya persoalan berkaitan dengan Majlis Statistik Negara, pelantikan Ketua Perangkawan dan kalau sekiranya ada masa, saya akan juga jawab perkara-perkara lain termasuk isu PADU yang dibangkitkan oleh Ahli-ahli Parlimen.

Jadi, untuk proses kita membangunkan RUU, selain proses libat urus yang saya nyatakan tadi, sebagai rekod Parlimen, sememangnya RUU ini telah dibawa masuk ke peringkat Jawatankuasa Khas Kewangan dan Ekonomi pada 1 Julai yang lepas, dan kemudiannya diikuti oleh taklimat kepada semua Ahli-ahli Parlimen, bukan hanya backbenchers di peringkat kerajaan, kita juga turut menjemput Ahli-ahli Parlimen daripada sebelah sana.

Yang itu kami berterima kasih kerana maklum balas yang diberikan dan hujahannya pada hari ini, ada perkara-perkara yang mungkin ada manfaat untuk kita bincang dan teliti dengan lebih lanjut. Jadi, untuk RUU Statistik ini, ini adalah RUU yang menggantikan RUU Perangkaan 1965. Jadi bila kita sebut menggantikan, itu sebenarnya bukanlah menggantikan keseluruhan.

Maksudnya, fungsi yang telah diwujudkan pada sejak 1965 ini masih diteruskan di bawah RUU Statistik ini. Jadi kalau persoalan yang dibangkitkan oleh beberapa orang Ahli Yang Berhormat mengenai bagaimana kita mengumpul data, kenapa seolah-olah kuasanya begitu luas dan sebagainya.

Sebagai contoh, di bawah Akta Perangkaan 1965, fungsi Jabatan Perangkaan sememangnya tertumpu pada pengumpulan, pentafsiran, penyampaian statistik untuk memenuhi keperluan kerajaan serta menyokong sektor perdagangan, komersial, perindustrian dan pertanian. Jadi, itu bukan satu perkara baru yang seolah-olah dengan izin, kita cuba encroach dan dapatkan maklumat dengan sewenang-wenangnya. Namun melalui RUU Statistik 2026 ini, fungsi Jabatan Statistik Malaysia ini kita perluaskan lagi untuk kita kukuhkan sistem statistik negara.

Jadi, kalau kita lihat selain daripada fungsi teras untuk mengumpul dan menyebarkan soal statistik ini, Jabatan Statistik Malaysia akan diberikan peranan untuk menjadi pusat repositori data dan statistik negara, membangunkan dan menetapkan standard serta tatacara statistik, memastikan kualiti, integriti dan kebolehpercayaan statistik rasmi, memberikan nasihat berkaitan statistik kepada pelbagai pihak, menyelaras aktiviti statistik merentas agensi dan juga menyediakan latihan berkaitan statistik serta melaksanakan fungsi yang berkaitan dengan data dan statistik.

Jadi sebenarnya, perkara ini perlu diberikan perhatian dan memahami bahawa bila dengan adanya RUU ini, ini akan membolehkan perkara-perkara yang mungkin menjadi kelompongan di bawah akta sebelum ini, kita dapat perkasakan.

Jadi bila disebut bagaimana nak kita selaraskan dengan amalan peringkat antarabangsa.

Jadi, sebenarnya bila kita bangunkan perkara ini seperti pembukaan saya tadi, sememangnya kita bergantung dan juga mengambil kira pandangan— sebagai contoh daripada Fundamental Principles of Official Statistics daripada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, kita juga ambil Guidance on Modernizing Statistical Legislation oleh United Nations, Economic Commission for Europe, Generic Law on Official Statistics oleh UNECE juga dan juga amalan terbaik NSO daripada negara- negara lain sebagai contoh, Australia, Kanada, UK dan juga Singapura.

Jadi, bila menjawab lebih spesifik sebagai contoh, perkara yang dinyatakan oleh daripada Balik Pulau, Pendang, Kepong dan yang lain-lain, contohnya bila kita menyebut dalam era pada hari ini, isunya bukan lagi data itu tidak wujud. Isunya sekarang ini cabarannya adalah dalam era ekonomi digital ini, bagaimana kita menguruskan data ini yang disebut Balik Pulau, saya memang tangkap tadi. Dia sebut ‘data is the new oil’ sebagai contoh. Jadi, bagaimana proses yang kita lakukan di peringkat Jabatan Statistik berpandukan sistem piawaian yang membolehkan data itu betul-betul dapat diguna pakai.

Jadi, saya setuju bila walaupun dengan pandangan Pendang tadi, dia biasalah, dia punya perbahasan itu jauh menyimpang tetapi bila bercakap soal cabaran utama itu, betul. Kita bukan lagi kekurangan data tetapi nak mempertahankan soal kewibawaan statistik rasmi negara. Sebab itu bila kita sebut penetapan standard, definisi metodologi yang seragam di samping mewujudkan Majlis Statistik Negara, ini yang sebenarnya akan memperkasakan proses dan juga dapatan statistik yang kita hasilkan. Kemudian, kalau saya boleh menjawab dalam isu umum ini. Persoalan daripada Kepong yang bertanya mengenai kaedah standard dan tempoh untuk kita mengumpul dan menerbitkan data.

draft • 5:04 PM

Menteri Ekonomi - Tuan Haji Akmal Nasrullah bin Mohd Nasir

Dalam pengumpulan dan penerbitan data, lazimnya tempoh masa yang diambil adalah tertakluk kepada Special Data Dissemination Standard ataupun SDDS bagi data-data utama seperti inflasi, KDNK dan imbangan pembayaran dan sebenarnya jadual-jadual, ada yang dinyatakan tadi yang bertanya kenapa tidak dimasukkan jadual ataupun takwim, sebenarnya memang jadual penerbitan untuk setiap data ini juga telah dikeluarkan lebih awal dan kita uar-uarkan, umumkan melalui laman web DOSM.

Jadi kalau Ahli Parlimen Bachok dia familiar-lah, perkara ini memang kita nyatakan malah dalam kita melahirkan data-data berkenaan, kita perlu juga konsisten mengikut takwim berkenaan kerana ia nya akan diguna pakai bukan hanya di peringkat negara kita tetapi juga untuk di peringkat global.

Seterusnya daripada Kuala Krai, soalan umum dia tanya kenapa nama jawatan itu kekal Ketua Perangkawan, itu memang standard laras bahasa yang ditetapkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Jadi itu kita kekalkanlah. Dari segi pertanyaan Yang Berhormat mengenai kenapa akan kita bagi imuniti dan sebagainya, itu bukan berbentuk imuniti yang secara meluas, ia bermaksud terpakai bagi tindakan yang dilakukan dengan suci hati, in good faith dengan izin, semasa para pegawai ini melaksanakan fungsi di bawah akta. Ia tidak melindungi perbuatan yang dilakukan secara cuai, berniat jahat, menyalahgunakan kuasa atau melanggar undang-undang. Malah pegawai yang melanggar kewajipan kerahsiaan atau menyalahgunakan maklumat boleh dikenakan tindakan di bawah RUU ini.

Dari segi seterusnya akses kepada statistik, ada yang bertanya tadi seingat saya daripada Pendang yang bertanya mengenai adakah Ahli-ahli Parlimen ini boleh dibekalkan oleh data? Sebenarnya memang proses ini dibolehkan, malah sekiranya kepada orang ramai di luar sana sekalipun, bila mereka memerlukan sesuatu data yang mungkin bukan data umum yang dinyatakan di laman web, mereka boleh menyatakan permohonan itu dan ini tertakluk kepada syarat dan tatacara yang ditentukan oleh Ketua Perangkawan serta pembayaran fi yang ditetapkan jika berkenaan.

Seterusnya Yang Berhormat Tan Sri Speaker, berkenaan persoalan mengenai pusat repositori. Yang ini elok saya jelaskan bahawa bila kita menyatakan pusat repositori itu adalah pusat repositori data dan statistik yang dibangunkan oleh Jabatan Statistik Malaysia untuk kita integrasikan data daripada pelbagai sumber bagi tujuan penyediaan statistik rasmi negara. Repositori ini secara prinsipnya akan meningkatkan kebolehgunaan data, menyokong analisis rentas sektor, mengelakkan data berada dalam silo dan menyediakan statistik yang lebih menyeluruh untuk pembangunan negara.

Jadi kalau contoh saya cuba sambil mendengar perbahasan tadi, saya cuba dapatkan satu contoh. Contohnya dalam keadaan kita nak membangunkan statistik mungkin dari segi kewujudan pusat tadika. Bila kita sebut sebagai contoh pusat tadika itu, mereka berdaftar mungkin dengan pihak agensi yang berbeza. Maka di peringkat Jabatan Statistik Malaysia ini, data-data yang dikumpulkan itu akan masuk dulu ke repositori ini supaya maklumat itu tidak bersifat silo. Maksudnya dapatan yang kita kumpul itu merangkumi mungkin sumber-sumber daripada pelbagai sumber.

Yang kedua, yang dinyatakan bagaimana juga untuk soal repositori ini juga berlaku kerana data yang diterima itu, maklumat itu masih dimiliki oleh agensi. Pihak Jabatan Statistik hanya menerima untuk menguruskan dan menghasilkan statistik untuk dikeluarkan. Tapi pemilik asal data itu masih dengan jabatan atau agensi berkenaan.

Maka, bagi melindungi dari segi maklumat peribadi ataupun perkara yang kita kerahsiaan dan sebagainya, di sinilah, di peringkat repositori ini yang kita boleh guna pakai cara kaedah coding ataupun dari segi klasifikasi supaya maklumat ini ada keselamatan dan kerahsiaan yang kita jaga di situ. Dan sebab itu, merujuk kepada contoh yang sama soal bagaimana Jabatan Statistik ketika ini mengeluarkan dapatan dan sebagainya, sudah pasti data yang kita hasilkan ini bersifat dinamik, maka maklum balas daripada orang ramai, termasuk daripada Ahli Parlimen itu akan membolehkan proses kita menambah baik dapatan statistik ini akan terus berlaku.

Kemudian, ada beberapa persoalan berkaitan dengan keselamatan dan juga kerahsiaan. Contohnya daripada Ahli Parlimen Kangar ada bertanyakan apakah jaminan keselamatan yang boleh diberikan kerajaan kepada rakyat sekiranya untuk ya lah isu data ini yang mana untuk ketika ini macam saya nyatakan tadi RUU 2026 Statistik ini tidak bertujuan mewujudkan satu pusat repositori yang membuka ruang kepada penyalahgunaan data tapi kat situlah ruang yang kita ada untuk kita kekalkan dan mengurangkan risiko dari segi salah guna, dari segi mengekalkan kerahsiaan dan sebagainya.

Kemudian daripada Yang Berhormat Pasir Salak, berkaitan dengan konsep kerahsiaan ini, sememangnya di peringkat RUU Statistik ini, kita mengekalkan prinsip kerahsiaan statistik ataupun statistical confidentiality dengan izin, di mana data peribadi yang saya nyatakan tadi tidak akan didedahkan. Sebarang pendedahan maklumat individu oleh Pegawai Jabatan Statistik Malaysia merupakan satu kesalahan yang boleh dikenakan tindakan undang-undang. Jadi statistik yang digunakan adalah dalam bentuk agregat dan tidak boleh ataupun tidak mengenal pasti mana-mana individu atau pun organisasi.

Seterusnya dari segi persoalan mengenai Majlis Statistik Negara. Ada beberapa Ahli Yang Berhormat telah bangkitkan— di sini ada soalan daripada Yang Berhormat Betong sebagai contoh mengenai perwakilan dan juga ya lah dari segi konsep Majlis Statistik Negara. Ketika ini Majlis Statistik Negara memang telah wujud. Ia nya merupakan sebahagian daripada jawatankuasa Kabinet yang mana sebagai contoh ketika ini walaupun kita namakan Perdana Menteri sebagai pengerusi, ketika ini yang mempengerusikannya adalah Yang Amat Berhormat Timbalan Perdana Menteri kedua.

Maka fokus itu sememangnya sebagai contoh untuk walaupun kita menetapkan peringkat nasional, sudah pasti ia nya kena bersifat nasional. Jadi wakil- wakil termasuk kalangan Ahli-ahli Yang Berhormat termasuk daripada Menteri juga, ada yang terdiri daripada negeri Sabah dan juga Sarawak. Manakala majlis ini juga ditubuhkan di peringkat negeri, kita ada Majlis Statistik Data Negeri ataupun Wilayah serta juga Majlis Statistik di peringkat daerah.

Seterusnya dari segi kebocoran data dan sebagainya yang saya dah nyatakan tadi juga, isu yang sama bagaimana kita membendung perkara berkenaan.

Seterusnya berkaitan dengan persoalan pelantikan Ketua Perangkawan.

Contohnya ini adalah satu jabatan teknikal di bawah agensi kerajaan dan sememangnya penetapan bila kita mengeluarkan ataupun come up dengan izin RUU ini sudah pasti ia nya bukan hanya cerminan untuk memastikan tadbir urus yang baik tetapi memberi keyakinan dan juga membina keutuhan supaya pelantikan Ketua Pengarah ataupun Ketua Perangkawan itu adalah di kalangan mereka yang benar- benar layak dari segi keupayaan dari segi pengalaman dan sebagainya. Jadi isu sebagai contoh nak menurunkan tempoh perkhidmatan sebenarnya bagi peringkat kami tidak timbul.

Kemudiannya dari segi perkara berkaitan dengan PADU. Yang ini persoalan yang dibangkitkan oleh beberapa Ahli Parlimen termasuk daripada Bachok, Pasir Salak, Langkawi, Kapar dan kemudiannya di penghujung tadi oleh Arau. PADU berbanding dengan repositori yang saya terangkan tadi, itu adalah repositori untuk kita menguruskan statistik. PADU adalah merupakan pusat repositori data untuk profil ataupun profil sosioekonomi individu warganegara yang mana ada 30.7 juta profil dan integrasi juga dibuat dengan 204 agensi dan perkongsian dan pengintegrasian ini secara berterusan dengan PADU melibatkan juga 670 set data.

draft • 5:10 PM

Menteri Ekonomi - Tuan Haji Akmal Nasrullah bin Mohd Nasir

Jadi, maklumat ini macam mana saya sebut tadi, statistik itu bersifat dinamik.

Jadi, dari segi kemas kini dan sebagainya ini, kita juga terima daripada agensi dan data-data yang dibekalkan. Dari segi parameter yang kita integrasikan adalah melibatkan soal demografi, alamat, soal pekerjaan, pendidikan dan sebagainya.

Ketika ini, hala tuju PADU sepertimana yang telah saya nyatakan pada bulan lima tempoh hari, sebanyak 27 used case ataupun agensi yang telah menggunakan data PADU ini bagi tujuan mereka meningkatkan kecekapan atau keberkesanan dasar. Ini merangkumi semakan dan juga verifikasi maklumat serta pelaksanaan subsidi dan bantuan secara lebih bersasar.

Jadi, dalam pelaksanaan inisiatif BUDI MADANI sebagai contoh, PADU telah digunakan untuk verifikasi dan semak silang bagi menambah baik penentuan kumpulan sasar. Dan pada masa kini juga, PADU itu kita cuba angkat empat perkhidmatan untuk melengkapkan lagi kaedah penggunaannya. Selain dari soal sebagai profile as service yang mana kita boleh mendapatkan semak silang dan sebagainya.

Kita juga meletakkan supaya PADU ini dapat atau ada juga feature ataupun kebolehupayaan untuk melakukan analisa untuk tujuan analitik as service. Yang ini akan membolehkan di peringkat agensi ataupun di peringkat pemegang taruh untuk membuat keputusan berasaskan data untuk perancangan dasar dan juga pengurusan program di peringkat mereka.

Dan pada masa yang sama, maklumat-maklumat ini, contohnya unify platform juga untuk kita penyatuan data daripada pelbagai agensi yang memberi ataupun membentuk repositori profil individu dan isi rumah secara bersepadu, terangkum dan terkini.

Jadi, dari segi peranannya, bukan lagi semata-mata untuk sebagai pusat repositori data tetapi manfaatnya ketika ini ia juga boleh menjadi asas kepada peningkatan keupayaan di peringkat kerajaan untuk mengguna pakai kaedah analitik. Jadi Yang Amat Berhormat, ataupun Yang Berhormat Tan Sri Speaker, itu antara rangkuman yang saya boleh nyatakan dalam penggulungan ini. Kalau ada apa-apa pertanyaan tambahan, kalau tidak, mungkin saya boleh tutup.

draft • 5:20 PM

Dato’ Dr. Ahmad Yunus bin Hairi - Kuala Langat

[Bangun]

draft • 5:20 PM

Dato’ Ngeh Koo Ham - Beruas

Tan Sri, kalau tadi isu tentang takrif bumiputera dan Melayu yang saya bangkitkan, saya sedang menyatakan dengan tegas, Jabatan Perangkaan tidak mengikut undang-undang. Dan daripada statistik yang ada di depan saya, nampaknya pekerja-pekerja asing Islam dianggap bumiputera dalam statistik. Kerana di Beruas, kawasan saya, ikut jumlah pengundi, peratusan pengundi orang Cina adalah 56.8 peratus, Melayu 27.2 peratus, India 15.2 peratus dan etnik lain 0.9 tapi statistik menyatakan jumlah Cina hanya 47.5 peratus, orang Melayu atau bumiputera 34.7 peratus, India 17.4 peratus, yang lain 0.4 dan di kawasan Beruas, 91 peratus daripada orang di Beruas adalah warganegara dan yang bukan warganegara, sembilan peratus.

Nampaknya, statistik kalau kita masukkan orang asing sebagai bumiputera, ini statistik tidak tunjukkan keadaan sebenar warganegara di Malaysia. Dan saya tadi sudah nyatakan, kalau kita salurkan semua keutamaan, kekayaan, keperluan dan sumber kepada mereka yang kita klasifikasikan sebagai bumiputera yang sebenarnya adalah orang asing atau orang asing yang baru jadi warganegara Malaysia. Orang Melayu, orang asal, orang Sabah, orang asal Sabah dan Sarawak yang kita hendak tolong sebenarnya. Sumber ini kita dinikmati oleh orang lain bukan yang kita hendakkan. Ingin saya dapat penjelasan.

draft • 5:20 PM

Tuan Yang di-Pertua

Sila Menteri.

draft • 5:20 PM

Dr. Hajah Halimah Ali - Kapar

Bersama— tadi pun Beruas sokong saya, kan? So, memang di sini ya Menteri, dalam laporan ini. Dalam kategori penduduk ini, memang kategorinya bumiputera, Cina, India, lain-lain. Tak ada Melayu. So, tolong apa kan— lihatkan dan saya setuju apa yang disebutkan oleh Beruas. Sebab kita ada nanti yang menuntut hak-hak itu dan sebagainya, kan? Dia orang kata, “Eh, Melayu tak ada?” Terima kasih.

draft • 5:20 PM

Tuan Yang di-Pertua

Baik, sila Menteri.

draft • 5:20 PM

Tuan Haji Akmal Nasrullah bin Mohd Nasir

Terima kasih Yang Berhormat Tan Sri Speaker. Kepada persoalan yang dibangkitkan oleh daripada Beruas ialah satu, sama ada nak klasifikasikan warganegara ataupun tidak? Itu— tujuan itu memang di bawah KDN lah, dalam menentu pakai sama ada seseorang itu menjadi seorang warganegara ataupun tidak.

Cuma, berkaitan dengan penggunaan istilah, contohnya yang dinyatakan tadi dari segi kaedah pengelasan yang merangkumi etnik ini. Contohnya, istilah bumiputera dalam penerbitan statistik sub nasional yang dinyatakan ini adalah etnik Melayu, bumiputera Sabah, Sarawak dan orang asli itu dianggap bumiputera. Cuma, perkara ini adalah yang spesifik dibangkitkan oleh Yang Berhormat, saya semak balik dari segi takrifan itu dalam keadaan— sudah pasti hasrat yang kita ada ini adalah untuk mengangkat RUU yang ada inilah.

Tetapi perkara yang dibangkitkan tadi, nanti saya semak mengenai bagaimana pemahaman takrifan yang dinyatakan oleh Kapar tadi. Saya faham hasratnya, kerana di bawah ini sebagai contoh, bila kita memerlukan perbezaan ataupun untuk mengenal pasti itu kerana ciri-ciri ataupun kumpulan etnik berkenaan itu mungkin berbeza.

Maka, dari segi untuk kita memastikan data yang dihasilkan itu dapat diguna pakai dengan sebaik mungkin juga, itu yang saya faham daripada hasratnya, supaya kalau perkara itu ada perincian yang boleh dibuat lagi. Maka, itu akan lebih membantu untuk kita memahami keperluan ataupun bagaimana kita memahami statistik di sesuatu kawasan ataupun di sesuatu peringkat.

draft • 5:20 PM

Dr. Hajah Halimah Ali - Kapar

Menteri, saya tak ada masalah dengan apa yang disebutkan oleh Menteri tadi. Yang— isunya ialah roh RUU ini, ketepatan data dan statistik. So, dia kena perincikan dengan betul. Ini benda bukan baharu tapi ini seolah-olahnya ditukar.

draft • 5:20 PM

Tuan Haji Akmal Nasrullah bin Mohd Nasir

Sebab itu dia...

draft • 5:20 PM

Dr. Hajah Halimah Ali - Kapar

Dia tak ada— dulu memang ada, Menteri.

Dulu memang ada perincian yang saya sebut tadi, bumiputera, Sabah/Sarawak dan sebagainya. Tetapi yang ini tak ada.

draft • 5:20 PM

Tuan Haji Akmal Nasrullah bin Mohd Nasir

Sebab itu saya...

draft • 5:20 PM

Dr. Hajah Halimah Ali - Kapar

Melayunya, dia out langsung.

draft • 5:20 PM

Tuan Haji Akmal Nasrullah bin Mohd Nasir

Saya nyatakan tadi, maksudnya hendak - saya akan semak perkara ini. Sudah pasti yang saya nyatakan di awal, statistik ini bersifat dinamik. Maksudnya, maklum balas daripada pengguna itu juga akan mencerminkan bagaimana klasifikasi itu boleh membantu kita sebagai pengguna.

Jadi, sebab itu perkara yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Kapar itu, saya tidak lihat sebagai isu tepat ataupun tidak. Tetapi sama ada kita hendak bakulkan perkara itu dalam satu perkara yang sama ataupun takrifan itu kita perincikan lagi. Ini kerana mengambil kira bila klasifikasi itu dengan lebih perinci akan membolehkan tindakan ataupun urusan-urusan keputusan yang perlu dibuat itu bersandarkan kepada perkara yang lebih spesifik.

Jadi, itu jawapan yang boleh saya nyatakan di sini, yang mana sudah pasti perkara itu juga akan terus menjadi hubungan untuk supaya kita terus membolehkan data ini dapat berinteraksi dengan pengguna di luar sana. Boleh lagi, Tan Sri Speaker?

draft • 5:20 PM

Tuan Yang di-Pertua

Ya.

draft • 5:20 PM

Dato’ Dr. Ahmad Yunus bin Hairi - Kuala Langat

Satu. Berkaitan dengan fasal yang saya bangkitkan, fasal permintaan data yang tidak— seolah-olah, sekiranya ingkar kepada entiti kerajaan untuk tidak mengemukakan data, apakah tindakan-tindakan yang mungkin boleh diambil dan tidak dinyatakan dalam...?

draft • 5:20 PM

Tuan Haji Akmal Nasrullah bin Mohd Nasir

Terima kasih Yang Berhormat.

Macam yang saya nyatakan tadi, dari segi fungsi Jabatan Perangkaan dan selepas ini Jabatan Statistik, memang adalah untuk kita mengumpul data, analyze dan kita terbitkan statistik berkenaan.

Jadi, hubungan selama ini, sebagai contoh dengan pihak agensi kerajaan, itu adalah dengan menjalinkan kerjasama yang sebaik mungkin. Jadi, sebab itu ianya tidaklah bersandarkan untuk meletakkan hukuman sekiranya agensi berkenaan tidak bekerjasama dan sebagainya. Ketika ini, untuk kita membolehkan perkongsian data itu berlaku di peringkat kerajaan, ia nya memang bersifat kerjasama.

draft • 5:20 PM

Tuan Haji Akmal Nasrullah bin Mohd Nasir

Ketika ini, sebagai contoh, sudah pasti setiap kementerian ataupun agensi berkenaan mempunyai akta ataupun perkara yang ada punca kuasa di peringkat mereka. Jadi, kalau sekiranya ada maklumat itu yang dirasakan tidak kesesuaian untuk dikongsikan secara umum, maka perkara itu biasanya agensi berkenaan akan kembali menerangkan keadaan bagaimana mereka perlu menguruskan data itu dengan secara kaedah yang berbeza. Jadi, sebab itu, hubungan itu, dari segi hasrat RUU yang kita bawakan pada hari ini, meneruskan lagi kesinambungan kaedah pengumpulan yang telah kita lakukan sebelum ini.

Jadi, Tan Sri Yang di-Pertua, saya sekali lagi mengucapkan terima kasih kepada semua Yang Berhormat yang telah mengambil bahagian dalam perbahasan ini. Di kesempatan ini, sepertimana yang telah dinyatakan oleh beberapa Ahli-ahli Parlimen yang lain, saya mengambil kesempatan selaku Menteri Ekonomi juga untuk kita sama-sama merakamkan ucapan penghargaan kepada Yang Berbahagia Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir bin Mahidin...

[Tepuk] yang mana hari ini juga kita jemput beliau untuk turut mengikuti perbahasan hari ini yang beliau telah pun bersara pada 7 Julai tempoh hari. Jadi, selamat bersara.

draft • 5:30 PM

Dato’ Seri Dr. Shahidan bin Kassim - Arau

[Bangun]

draft • 5:30 PM

Tuan Haji Akmal Nasrullah bin Mohd Nasir

Cuma harapnya beliau akan terus berkhidmat bersama untuk terus berbakti kepada negara.

Pada masa yang sama, di sini juga saya ingin memberi ucapan tahniah kepada Puan Siti Asiah binti Ahmad yang telah pun dilantik secara rasmi sebagai Ketua Perangkawan yang baharu...

[Tepuk] Berkuat kuasa pada 15 Julai ataupun pada tarikh semalam. Jadi, semoga dengan segala hasrat yang kita nyatakan melalui RUU Statistik ini akan terus memartabatkan Jabatan Statistik ataupun DOSM ke peringkat yang terbaik seperti yang telah di-acknowledge ataupun dihargai oleh Ahli Parlimen, dari segi Open Data Inventory, Malaysia berada di kedudukan pertama dalam dunia.

Jadi, sekali lagi, terima kasih, Tan Sri Yang di-Pertua. Terima kasih kepada semua Ahli Parlimen yang menyokong.

draft • 5:30 PM

Dato’ Seri Dr. Shahidan bin Kassim - Arau

Speaker, Speaker. Sikit saja nak sentuh.

draft • 5:30 PM

Tuan Yang di-Pertua

Dia dah duduk ke belum? Dah duduk dah.

draft • 5:30 PM

Dato’ Seri Dr. Shahidan bin Kassim - Arau

Boleh sikit saja?

draft • 5:30 PM

Tuan Yang di-Pertua

Tak boleh. Bila duduk, Menteri duduk, tak boleh jawab dah.

draft • 5:30 PM

Dato’ Seri Dr. Shahidan bin Kassim - Arau

Speaker yang baik hati. Ini saya kata...

draft • 5:30 PM

Tuan Yang di-Pertua

Dia prosedur.

draft • 5:30 PM

Dato’ Seri Dr. Shahidan bin Kassim - Arau

Saya nak cadangkan supaya bekas Ketua Pengarah itu diberilah jawatan tertentu yang berhubung dengan statistik. Itu maksud saya. Sikit saja. Tak jawab pun tak apa. Ambil ingatan bahawa orang yang bagus dan baik sebegini, ilmunya boleh digunakan. Dan dia masih muda.

Lifespan rakyat Malaysia sekarang dah 70 lebih. Dia pencen umur 60. Dia terlalu muda. Jadi, bagi peluang lagi 10 tahun, Yang Berhormat.

draft • 5:30 PM

Tuan Yang di-Pertua

Okey. Ambil ingatan.

draft • 5:30 PM

Dato’ Seri Dr. Shahidan bin Kassim - Arau

Ya, terima kasih.

draft • 5:30 PM

Tuan Yang di-Pertua

Baik. Ahli-ahli Yang Berhormat, sekarang saya kemukakan masalah kepada Majlis bagi diputuskan. Masalahnya ialah bahawa rang undang-undang ini dibacakan kali yang kedua sekarang.

[Masalah dikemukakan bagi diputuskan; dan disetujukan] [Rang undang-undang dibacakan kali yang kedua dan diserahkan kepada Dewan sebagai Jawatankuasa] [Majlis bersidang dalam Jawatankuasa] [Tuan Yang di-Pertua mempengerusikan Jawatankuasa****] [Fasal-fasal dikemukakan kepada Jawatankuasa] [****Fasal-fasal 1 hingga 22 diperintahkan jadi sebahagian daripada rang-rang undang] [Rang undang-undang dimaklumkan kepada Majlis sekarang] [Majlis Mesyuarat bersidang semula] [Rang undang-undang dilaporkan dengan tidak ada pindaan; dibacakan kali yang ketiga, disokong oleh Timbalan Menteri Ekonomi (Dato’ Indera Mohd Shahar bin Abdullah) dan diluluskan]

draft • 5:30 PM

Tuan Yang di-Pertua

Baik. Ahli Yang Berhormat, Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Parlimen Kelima Belas telah berlangsung selama 16 hari mulai Isnin, 22 Jun 2026 hingga Khamis, 16 Julai 2026 dan terdapat hari persidangan yang berlangsung secara terus tanpa rehat. Mesyuarat ini juga menyaksikan Dewan Rakyat sekali lagi telah menempa sejarah dengan memperuntukkan masa seharian bagi Sesi Penerangan Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Berkaitan Kementerian pada hari pertama Mesyuarat Kedua ini.

Selain itu, Dewan Rakyat juga telah meluluskan sebanyak 13 rang undang- undang serta beberapa usul, termasuk usul membahaskan Laporan Tahunan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) 2024. Selain itu, tiga penerangan daripada Menteri-menteri telah dibuat di Dewan Rakyat dan satu penerangan Menteri di Kamar Khas serta enam penerangan Pengerusi Jawatankuasa Pilihan mengenai penyata-penyata yang dibentangkan telah diadakan di Dewan ini.

Yang Berhormat, saya juga mengingatkan bahawa semua Ahli-ahli Yang Berhormat perlu melaksanakan pemeriksaan kesihatan. Oleh itu, saya mohon kerjasama semua Ahli Yang Berhormat untuk melaksanakan pemeriksaan kesihatan sebelum hari Jumaat, 30 Oktober 2026. Seperti yang saya katakan, pemeriksaan boleh dibuat di mana-mana sahaja.

Cuma, maklumat itu hendaklah sampai kepada Parlimen supaya kita mempunyai rekod seperti cadangan Langkawi tadi. Kita simpan semua rekod itu di Parlimen. Saya berharap Ahli Yang Berhormat dapat menjaga kesihatan sepanjang tempoh kempen pilihan raya yang akan datang...

[Tepuk] Pada kesempatan ini, saya memaklumkan bahawa Parlimen Malaysia akan menganjurkan Larian Cergas Parlimen 2026 pada hari Sabtu, 25 Julai 2026. Program ini bertujuan untuk membudayakan amalan gaya hidup sihat dan memperkukuh penglibatan komuniti dalam aktiviti yang berteraskan kesihatan dan kecergasan.

Program ini adalah terbuka kepada semua Ahli Parlimen, warga Parlimen, peserta Program Parlimen Belia Malaysia dan juga orang awam. Borang penyertaan telah pun diletakkan di atas meja Ahli Yang Berhormat pada hari Rabu, 15 Julai 2026 yang lalu.

Saya dan timbalan-timbalan saya merakamkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua Ahli Yang Berhormat yang telah memberi kerjasama yang baik bagi membolehkan perjalanan Majlis mesyuarat dapat disempurnakan sepanjang tempoh persidangan ini. Saya juga mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada semua pegawai kerajaan, warga Parlimen Malaysia, wakil media massa serta semua pihak yang turut terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam pengendalian urusan Majlis mesyuarat sepanjang tempoh persidangan kali ini.

Saya mengucapkan selamat pulang dan selamat sampai ke destinasi masing-masing. Semoga Ahli Yang Berhormat sentiasa sihat walafiat di samping keluarga tersayang.

Ahli Yang Berhormat, Mesyuarat Dewan hari ini ditangguhkan hingga ke suatu...

draft • 5:30 PM

Datuk Dr. Ahmad Marzuk bin Shaary - Pengkalan Chepa

Tan Sri, sekejap.

draft • 5:30 PM

Tuan Yang di-Pertua

Ya.

draft • 5:30 PM

Dato’ Seri Dr. Shahidan bin Kassim - Arau

[Bangun]

draft • 5:30 PM

Tuan Haji Abdul Latiff bin Abdul Rahman - Kuala Krai

[Bangun]

draft • 5:30 PM

Datuk Dr. Ahmad Marzuk bin Shaary - Pengkalan Chepa

Soalan akhir.

Kita ada sidang lagi tak bulan 10 ini? Sebab, kedengaran...

draft • 5:30 PM

Tuan Yang di-Pertua

Itu akan dijawab oleh eksekutif, insya-Allah.

draft • 5:30 PM

Dato’ Seri Dr. Shahidan bin Kassim - Arau

Ya. Kami semua tak boleh balik. Kena pergi Negeri Sembilan.

draft • 5:30 PM

Tuan Yang di-Pertua

Baik. Selamat memandu dan berhati-hati di jalan raya.

draft • 5:30 PM

Datuk Dr. Ahmad Marzuk bin Shaary - Pengkalan Chepa

Kita takut bubar awal.

draft • 5:30 PM

Tuan Yang di-Pertua

Baik. Sekali lagi, Yang Berhormat, mesyuarat Dewan hari ini ditangguhkan hingga ke suatu tarikh yang tidak ditetapkan.

[Mengetuk tukul]

draft • 5:30 PM

[Dewan ditangguhkan pada pukul 5.40 petang]

Hak Cipta Terpelihara © 2026