Jul142026

Katalog Hansard

Dewan Rakyat
  Draf

[Tuan Yang di-Pertua **mempengerusikan Mesyuarat****]

draft • 10:00 AM
WAKTU PERTANYAAN-PERTANYAAN MENTERI

Tuan Yang di-Pertua

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam sejahtera dan selamat pagi. Sebelum saya menjemput Perdana Menteri untuk menjawab sesi Waktu Pertanyaan Menteri ini, saya nak maklumkan bahawa tarikh akhir untuk Yang Berhormat kemukakan laporan kesihatan ialah pada hari Jumaat, 30 Oktober tahun ini.

Seperti yang saya sebut, laporan kesihatan Yang Berhormat ini penting untuk kita ada di Parlimen, sebab kalau apa-apa jadi pada Yang Berhormat, kita dah ada maklumat awal. Jadi, kalau pun kita terpaksa menghantar Yang Berhormat ke hospital, maklumat yang ada kepada kita itu terus kita hantar ke hospital, jadi dah ada, itu yang pertama.

Yang kedua, kalau sekiranya Yang Berhormat berada di mana-mana juga dan nak melakukan medical check-up itu, boleh dan cuma hantarkan maklumat itu kepada Dr. Muru supaya maklumat medical check-up itu berada dalam simpanan kita di Parlimen. Itu sahaja yang saya minta, sebab kita nak menjaga, nak pastikan semua Ahli Parlimen kita keadaan sihat walafiat. Baik, kita mulakan Waktu Pertanyaan- pertanyaan Menteri dengan saya menjemput Dato’ Adnan bin Abu Hassan, Kuala Pilah. Silakan.

draft • 10:00 AM

1. Dato’ Haji Adnan bin Haji Abu Hassan [Kuala Pilah]: Terima kasih Yang Berhormat Tan Sri Dr. Speaker. Soalan Kuala Pilah kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Kuala Pilah minta Perdana Menteri menyatakan, manfaat ekonomi yang dijangka diperoleh Malaysia daripada pembangunan Zon Ekonomi Sempadan Malaysia–Thailand dan apakah mekanisme bagi memastikan manfaat tersebut turut dinikmati perusahaan kecil dan komuniti di kawasan sempadan. Terima kasih.

draft • 10:00 AM

Tuan Yang di-Pertua

Silakan, Perdana Menteri.

draft • 10:00 AM

Perdana Menteri dan Menteri Kewangan - Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera. Tan Sri Yang di- Pertua, terima kasih kepada Tampin. Strategi pembangunan...

draft • 10:00 AM

Dato’ Haji Adnan bin Haji Abu Hassan - Kuala Pilah

Kuala Pilah, ini.

draft • 10:00 AM

Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim

Kuala Pilah, maaf. Kuala Pilah. Minta maaf, Kuala Pilah.

[Ketawa] Strategi pembangunan wilayah sebenarnya yang sekarang kita bicarakan soal sempadan Malaysia–Thailand, itu terangkum dalam Rancangan Strategi Pembangunan Terangkum Rancangan Malaysia Ketiga, iaitu memastikan pembangunan itu tidak hanya tertumpu kepada fokus pembangunan asal yang utama yang terus diberikan seperti Lembah Klang dan sekarang dah menjalar sehingga ke Negeri Sembilan dan Melaka dan Pulau Pinang dan sekarang ditumpukan Johor–Singapore Special Economic Zone, tetapi juga RECODA dan SEDIA di Sabah dan Sarawak.

Kerian yang diberikan tumpuan baharu dengan PNB dan Sime Darby dan sekarang dalam konteks pembangunan. Kawasan utara melibatkan Perlis, Kedah, Kelantan dan menjurus ke Pulau Pinang dan juga utara Perak.

Dan kita ucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Thailand, Perdana Menteri Anutin kerana bersetuju umpamanya memberikan tumpuan kepada pembangunan utara Semenanjung dan juga melibatkan Selatan Thailand. Tentunya strategi itu melibatkan juga strategi keselamatan kerana kita berikan peluang pembangunan dan tumpuan kawasan yang tersisih di utara, Semenanjung dan Selatan Thailand yang memberikan kesempatan pembangunan kepada rakyat, pekerjaan dan sebagainya.

Jadi, pembangunan Zon Ekonomi Sempadan Malaysia–Thailand ini tentunya bertujuan untuk membuka ruang pembangunan yang lebih. Dan ini bukan sahaja Sadao dan Bukit Kayu Hitam, seperti yang dirasmikan oleh Perdana Menteri Thailand bersama saya beberapa hari yang lalu, tetapi juga Rantau Panjang dan kita telah mendapat kerjasama daripada kerajaan negeri untuk menyegerakan.

Kita sasarkan umpamanya peningkatan perdagangan Thailand–Malaysia yang punyai potensi yang besar, tetapi tidak dimanfaatkan sepenuhnya. Sekarang ini kita berikan laluan barang makanan dan perikanan dari Thailand melalui Semenanjung ke Singapura. Sebelum ini, yang mana dari Malaysia tidak dapat melepasi beberapa sekatan Kastam Thailand untuk ke Laos, Cambodia, Vietnam, tetapi dengan perjanjian baharu ini, Perdana Menteri Thailand telah bersetuju memberikan kelonggaran itu.

Maknanya peluang perdagangan untuk Malaysia dari bidang perikanan dan pertanian juga supaya melepasi sekatan-sekatan biasa Kastam itu dapat dikendalikan. Jadi di Zon Ekonomi Sempadan termasuk Chuping Valley Industrial Area, Kulim Hi-Tech yang sedia ada, tetapi dikembangkan, Perlis Inland Port, ini penting, kerana Perlis Inland Port ini dia menjalar sehingga ke Laos dan kita belanjakan RM327 juta untuk maksud tersebut dan Klaster Logistik PIP ini untuk 300,000, 20 foot equivalent unite dalam fasa pertama dan fasa kedua berikutnya.

Dan tentunya Bukit Kayu Hitam, Kedah Rubber City yang saya rumuskan dengan ini pembinaan jambatan Sungai Golok dan Rantau Panjang yang saya sebut tadi, itu menelan RM45 juta.

draft • 10:00 AM

Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim

Dan kita telah cadangkan kerajaan negeri supaya membangunkan kawasan di persekitaran Rantau Panjang dari segi perdagangan, perniagaan dan perusahaan kecil terutama di kalangan masyarakat Melayu bumiputera. Dan ini terangkul dalam kegiatan ECRL yang juga menjurus ke situ dan Kerajaan Persekutuan telah memutuskan supaya dikembangkan dari Tumpat ke Rantau Panjang ke sempadan.

Dan perbincangan dengan Perdana Menteri Anutin, kita cadangkan supaya laluan kereta api itu dapat diteruskan ke Thailand dengan jalur yang sama yang dibincangkan oleh Kementerian Pengangkutan, tapi saya nak tekankan di sini Tan Sri Yang di-Pertua, bahawa penekanan kita lebih juga kepada SME’s dan pengusaha-pengusaha kecil.

Ini termasuk inisiatif PowerUp 10,000, (PowerUp 10K) iaitu pembiayaan sehingga Jun 2026 RM400 juta adalah pembiayaan yang diluluskan kepada usahawan dan koperasi di Kelantan, RM206.7 juta kepada usahawan dan koperasi di Kedah dan RM45 juta kepada usahawan dan koperasi di Perlis supaya kepentingan masyarakat di peringkat yang lebih rendah dan peniaga kecil dan bumiputera itu tidak terlepas daripada peningkatan kegiatan ekonomi. Terima kasih.

draft • 10:10 AM

Tuan Yang di-Pertua

Baik, saya jemput Kuala Pilah.

draft • 10:10 AM

Dato’ Haji Adnan bin Haji Abu Hassan - Kuala Pilah

Terima kasih Yang Amat Berhormat di atas jawapan yang tuntas tadi. Yang Amat Berhormat ada menyebut tadi tentang Zon Ekonomi Sempadan ini membuka ruang pembangunan.

Okey, soalan saya, apakah langkah kerajaan untuk memastikan pembangunan ini, pembangunan infrastruktur dan logistik di kawasan sempadan ini diselaraskan dengan pembangunan Zon Ekonomi Sempadan termasuk melalui pengukuhan kesalinghubungan pelbagai mod pengangkutan multimodal bagi maksimumkan limpahan ekonomi dan memperkukuh integrasi serantau?

Dan bagaimanakah kerajaan mengimbangi usaha mempercepat perdagangan rentas sempadan dengan keperluan memperkukuh kawalan keselamatan bagi membendung penyeludupan dadah, penyeludupan barangan dan jenayah rentas sempadan yang lain?

Dan seterusnya Yang Amat Berhormat, saya difahamkan Yang Amat Berhormat akan berada di Kuala Pilah pada malam ini sebab saya dengan ini menyambut, welcome, selamat datang ke Kuala Pilah pada malam ini. Terima kasih, Yang Berhormat.

[Tepuk]

draft • 10:10 AM

[Dewan riuh]

Dato’ Mohd Isam bin Mohd Isa - Tampin

Tak payah datanglah.

draft • 10:10 AM

Tuan Yang di-Pertua

Baik, sila Perdana Menteri.

draft • 10:10 AM

Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim

Terima kasih Kuala Pilah. Mungkin saya jemput makan sekali malam ini di Kuala Pilah. Dia di ASEAN, di rantau kita beri keutamaan. Umpamanya ASEAN FTA dan ASEAN Free Trade Area menjalin hubungan dengan beberapa negara malah dalam kunjungan-kunjungan kita dan juga rakan-rakan sejawat ASEAN sementara dibincangkan kepentingan negara masing-masing selalu dilebarkan kepada ASEAN.

draft • 10:10 AM

Dato' Mohd Suhaimi bin Haji Abdullah - Langkawi

[Bangun]

draft • 10:10 AM

Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim

Umpamanya bila kita bicara soal Malaysia– Thailand sebenarnya termasuk juga ASEAN Power Grid yang melibatkan juga Vietnam dan jalur tenaga yang akan merentas ke Semenanjung ke Singapura dan juga yang laluan kedua melalui Laos dan Thailand. Itu soal tenaga terlibat.

Soal pengangkutan memang kita ada laluan baharu yang dirasmikan baharu ini ialah laluan lebuh raya, tetapi kita bincang juga soal kereta api. Dan Perdana Menteri Anutin menyebut juga tentang pelabuhan dan kita minta Kementerian Pengangkutan bincangkan supaya penggunaan pelabuhan di Thailand dan di Pulau Pinang termasuk pelabuhan-pelabuhan baharu seperti di Sanglang yang dibicarakan dan juga PIP— Perlis Inland Port.

Jadi, dia terangkum dalam semua bidang pengangkutan yang melibatkan pelabuhan, kereta api dan juga pelancongan, tetapi saya nak tekankan Tan Sri Yang di-Pertua, kita tidak mahu–– kerana kawasan ini kawasan yang tersisih dari arus pembangunan utama. Sebab itu diberikan tumpuan termasuk kemudahan- kemudahan infrastruktur, pendidikan, latihan, TVET dan sebagainya. Dan keduanya soal peluang perniagaan bagi kalangan peniaga kecil dan sederhana, SME’s terutamanya di kalangan bumiputera kerana ini kawasan-kawasan yang dianggap Malay Belt.

draft • 10:10 AM

Tuan Yang di-Pertua

Baik, saya jemput Langkawi.

draft • 10:10 AM

Dato' Mohd Suhaimi bin Haji Abdullah - Langkawi

Terima kasih Tan Sri Yang di-Pertua. Yang Amat Berhormat kita dapat makluman bahawa 70 hingga 80 peratus tenaga kerja bukan profesional akan berlaku di kawasan sempadan tersebut dan kawasan-kawasan yang termasuk dalam negeri Kedah ini Bukit Kayu Hitam seperti mana disebut oleh Yang Amat Berhormat, Padang Besar, Wang Kelian, Perlis, Durian Burung, Pengkalan Hulu. Adakah kerajaan telah membuat kajian Yang Amat Berhormat, tenaga kerja buruh yang dimaksudkan ini di kawasan-kawasan tersebut.

Tadi Yang Amat Berhormat kata akan ada TVET dan sebagainya, apakah persediaan awal ini?

Kita tak mahu Yang Amat Berhormat bila kita buka sahaja limpahan daripada utara itu akan datang ke Malaysia ini dan juga saya ingin bertanya, adakah kerajaan akan menetapkan sasaran minimum penyertaan PKS tempatan dalam projek tersebut?

Saya teringat semasa Yang Amat Berhormat menjadi Menteri Kewangan dahulu. Yang Amat Berhormat semasa itu syarikat-syarikat multinasional diwajibkan 30 peratus mesti ada komponen tempatan. Contoh Perwira Ericsson. Kemudian SAPURA— Nokia, Yayasan Pulau Pinang— Alcatel dan adakah Yang Amat Berhormat akan mengadakan juga, akan mewajibkan juga syarikat-syarikat luar yang masuk di kawasan itu dan diberi keutamaan kepada syarikat-syarikat di sebelah utara? Terima kasih, Tan Sri Yang di-Pertua.

draft • 10:10 AM

Tuan Yang di-Pertua

Baik, terima kasih. Silakan, Perdana Menteri.

draft • 10:10 AM

Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim

Terima kasih, Langkawi. Dia dua isu dibangkitkan. Pertama, soal latihan yang mencukupi. Selain daripada TVET yang disebutkan tadi KUSKOP melalui Institusi Keusahawanan Negara, INSKEN— business outreach, Program Bangkit di Kedah dan juga Program Latihan Keusahawanan di INSPEN. Ini beberapa inisiatif di bawah satu daerah, satu industri dan di bawah bimbingan keusahawanan. Saya setuju mungkin perlu lagi diberi perhatian supaya ada peningkatan agar peluang pekerjaan itu juga dimanfaatkan oleh penduduk dan anak-anak muda tempatan.

Dan sebab itu saya cadangkan umpamanya bagi kerajaan negeri, Menteri Besar Perlis ada di situ, tetapi Kedah tak ada masih banyak di Johor, tetapi saya cadangkan supaya di sekitar kawasan pembangunan utama umpamanya Perlis Inland Port ataupun Bukit Kayu Hitam, itu kerajaan negeri menyediakan tempat seperti mana sedang diselenggarakan oleh Kerajaan Negeri Kelantan atas cadangan kita.

Kerajaan Persekutuan boleh berikan sedikit pembiayaan untuk menyediakan peluang-peluang pekerjaan bagi peniaga-peniaga kecil umpamanya di sekitar kawasan pembangunan jambatan baharu Rantau Panjang di Kelantan dan diadakan kedai-kedai, warung dan juga restoran dan sebagainya untuk peniaga kecil.

Yang keduanya tentang peluang pekerjaan anak-anak tempatan. Kita memang menetapkan dan saya terima kasih peringatan itu dan mungkin kita harus beri penekanan seperti mana kita berikan dulu setiap syarikat besar mesti tentukan supaya ada penyertaan dan peluang pekerjaan dan latihan. Ada umpamanya kalau di Kulim HiTech saya ingat beberapa syarikat besar termasuk Infineon yang saya sebutkan di sini dulu dan yang mengadakan sinergi dari segi program latihan dengan USM. Nvidia umpamanya dengan UTM dan Intel, Google dengan UM.

Itu maknanya dia campur langsung dari— dengan kepakaran mereka yang ada untuk melatih anak-anak kita di universiti lagi dan bila mereka puas hati orang- orang ini profesional ini diambil bertugas dengan syarikat-syarikat tersebut.

draft • 10:10 AM

Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee - Beluran

[Bangun]

draft • 10:10 AM

Dato’ Hajah Siti Zailah binti Mohd Yusoff - Rantau Panjang

Minta tambahan satu soalan.

draft • 10:10 AM

Tuan Yang di-Pertua

Silakan.

draft • 10:10 AM

Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee - Beluran

Terima kasih Yang Berhormat Tan Sri. Saya alu-alukan usaha kerajaan untuk membangunkan ekonomi sempadan di Utara Semenanjung, di Selatan Semenanjung, Pantai Timur tetapi begitu juga kita harus lihat pembangunan ekonomi sempadan di Pulau Borneo, Sabah, Sarawak, Brunei, Indonesia malah diwujudkan sejak tahun 1994 apa yang dipanggil sebagai BIMP EAGA— Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia, Philippines East ASEAN Growth Area.

draft • 10:10 AM

Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee - Beluran

Since 1994 juga berhadapan dengan masalah-masalah yang dinyatakan oleh Yang Berhormat tadi masalah connectivity, masalah halangan perdagangan rentas sempadan, halangan jurang pembangunan infrastruktur, ketidaksinambungan pembangunan ekonomi dan pelbagai masalah yang dinyatakan oleh Yang Berhormat Perdana Menteri di zon sempadan utara.

Jadi, adakah Kerajaan Persekutuan juga akan melihat pembangunan ekonomi di sempadan Brunei Darussalam, Indonesia, Filipina dan Malaysia dijangka masa hadapan? Terima kasih.

draft • 10:20 AM

Tuan Yang di-Pertua

Baik silakan Perdana Menteri.

draft • 10:20 AM

Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim

Terima kasih Beluran. Sepanjang ingatan saya pertama, kita sejak tahun lalu— dua tahun lalu kita peruntukkan RM1 bilion untuk pembangunan kawasan sempadan Sabah, Sarawak dengan Indonesia.

Yang kedua, jalinan kerjasama dari segi pembangunan kawasan sempadan Brunei dan Sarawak itu ditingkatkan dan sebahagiannya dengan peruntukan Kerajaan Negeri Sarawak sendiri di sekitar Lawas. Dan di— Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Brunei mendukung penuh termasuk kerjasama yang lebih besar dengan PETRONAS.

BIMP-EAGA bulan lalu, Menteri Ekonomi turut hadir dalam mesyuarat itu di Sibu dan tentunya menjadi antara fokus walaupun saya akui Yang Berhormat, bahawa masih ada ruang untuk ditingkatkan tetapi sepertimana yang kita tinjau dan sebut bahawa kerjasama dengan Indonesia dalam pertemuan terakhir itu jauh lebih ditingkatkan dengan beberapa laluan yang dibuka dengan beberapa pusat ICQS dan juga laluan kastam dan imigresen dipermudahkan, tetapi sepertimana kita juga bincangkan sebelum ini, keutamaan itu harus lebih terangkum. Maknanya bila saya sebut tentang pembangunan wilayah itu, dia mesti memastikan pembangunan yang lebih seimbang semua wilayah.

Saya baca tadi tentang beberapa peruntukan telah diluluskan untuk Sabah dan Sarawak.

draft • 10:20 AM

Tuan Yang di-Pertua

Baik, seterusnya saya jemput Dato’ Rosol bin Wahid, Hulu Terengganu.

draft • 10:20 AM

2. Dato’ Rosol bin Wahid [Hulu Terengganu]: Terima kasih Tan Sri Yang di- Pertua. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Hulu Terengganu minta Perdana Menteri menyatakan, penilaian kerajaan terhadap kesan krisis berpanjangan di Selat Hormuz terhadap kestabilan politik dan ekonomi negara serta langkah-langkah yang sedang diambil bagi mengurangkan impaknya. Terima kasih Yang di-Pertua.

draft • 10:20 AM

Tuan Yang di-Pertua

Baik, dipersilakan Perdana Menteri.

draft • 10:20 AM

Perdana Menteri dan Menteri Kewangan - Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim

Terima kasih Hulu Terengganu. Saya terima juga soalan dan memang saya setuju dia satu masalah yang kita anggap boleh selesai, tetapi dengan tindakan Amerika Syarikat terakhir ini terus membimbangkan sehingga hari ini umpamanya Brent pada 14 Julai sudah mencecah USD81 dan untuk futures USD84. Itu lonjakan yang sangat tinggi walaupun dia tak sampai kepada keadaan sehingga umpamanya USD100 lebih bila keadaan kemuncak USD144 pada 7 April yang lalu. Dan mahu tidak mahu, sebahagian daripada keperluan import kita minyak gas dan diesel itu akan mengesankan.

Sebab itu untuk makluman Yang Berhormat, kita telah— dalam strategi pertama ya, strategi tentunya terpaksa memikirkan soal perlindungan kepada rakyat dan juga bagaimana dalam keadaan kegawatan ini menstabilkan harga dan— pertama, bekalan harus mencukupi dan harga yang agak munasabah.

Kemudian untuk industri, untuk SME itu bagaimana dana bantuan tambahan kepada mereka dan akhirnya daya tahan ekonomi. Saya bagi contoh umpamanya untuk— kerana kita faham permasalahan yang dihadapi oleh rakyat, maka untuk 2026, peruntukan untuk STR, SARA itu ditambah menjadi RM15 bilion. Ini bukan dalam peruntukan asal, tapi ditambah untuk peruntukan 2026 dan lebih sembilan juta penerima Malaysia, termasuk enam juta di kalangan Melayu bumiputera.

Kemudian untuk diesel itu lain daripada peruntukan RM15 bilion ini. Itu dan— jumlah itu berbeza. Dia tak bulan ke bulan berdasarkan harga petrol. Umpamanya bila BUDI95 diturunkan ke RM1.99 dan BUDI Diesel RM2.10, kerajaan menanggung— asalnya bila kita rancang RM1.99 sekitar untuk RON95, sekitar RM800 juta sebulan. RM800 juta sebulan. Untuk RON95 dan diesel untuk Januari, Februari 2026 kerana meletus perang. Jadi, dah melonjak untuk Mac, April RM5 bilion sebulan. Subsidi bulan Mei kerana minyak agak turun sedikit dia jadi RM4 bilion. Jadi, RM4 bilion sebulan kerana— tampungan supaya rakyat tidak terbeban dengan kos minyak dan diesel yang tinggi.

Untuk subsidi produk petroleum, kita jangkakan untuk tahun 2026 ialah RM40 bilion. Ada yang bertanyakan mengapa jumlah ini berubah? Dia berubah kerana jumlah harga pasaran Brent dan futures sini juga berubah. Jadi, kita hanya boleh umumkan berdasarkan apa yang berlaku sebelumnya, tetapi di samping itu kita ada tambahan lain, umpamanya peruntukan Jabatan Kebajikan Masyarakat itu ditambah menjadi RM3.1 bilion, tetapi cabarannya Yang Berhormat ialah tentang bagaimana untuk menjamin bekalan itu terkawal walaupun harga kos barang bahan api itu meningkat.

Jadi, semalam kita ada mesyuarat sekali lagi Majlis Tindakan Ekonomi Negara dan daripada makluman walaupun keadaan Selat Hormuz tidak terjangka apa akan berlaku, tetapi bekalan masih mencukupi untuk sementara waktu dan kos kita dapat tampung melalui beberapa langkah yang saya sebutkan dan juga Jualan RAHMAH dan sebagainya.

Dan langkah yang lain Yang Berhormat ialah mencari, memastikan bekalan tidak hanya daripada saluran yang sama. Sebab itu Presiden Putin, Rusia telah memberi jaminan bekalan diesel, minyak jangka panjang kepada Malaysia yang telah kita meterai. Kemudian, Turkmenistan satu berita yang sangat baik untuk Malaysia, terutamanya kepada PETRONAS kerana menjamin, memberikan bekalan telaga gas yang di antara terbesar di dunia untuk kita kendalikan dan dijangka mengikut kenyataan PETRONAS semalam bekalan— usaha mengorek gali kawasan gas yang terbesar blok sembilan dan sepuluh tak salah saya, akan bermula pada bulan Disember ini juga.

Ini di kalangan yang agak paling cepat pernah berlaku. Selalu jangkaan di antara satu setengah tahun hingga dua tahun untuk memulakan. Jadi, kita boleh mulakan pada bulan Disember, menetapkan bahawa Malaysia akan menjadi di antara pemilik gas yang di antara terbesar di dunia.

Langkah lain ialah PMKS kerana PMKS ini sangat strategi untuk kita maka kita serah— disalurkan RM15 bilion dan RM5 bilion untuk yang ditetapkan untuk bumiputera.

Kemudian, jaminan pembiayaan yang kita sebutkan baru-baru ini dan kita minta umpamanya seperti DBKL. Kos perniagaan bagi peniaga-peniaga kecil. Dan saya juga syorkan supaya majlis perbandaran dan kerajaan negeri juga mengambil tindakan sama kerana kos sewa untuk peniaga kecil itu terlalu tinggi. Jadi, kita bagikan contoh awal DBKL turunkan ke 50 peratus, kos untuk peniaga kecil.

Kemudian, yang berkuat kuasa 1 April 2026. MARA turun 20 peratus. Dan kalau semua majlis perbandaran itu dapat menurunkan jadi kos untuk peniaga itu dapat dikurangkan. Pada 20 April yang lalu, Kementerian Kewangan telah mengumumkan kelonggaran pelaksanaan e-invois fasa empat sehingga akhir tahun 2027 iaitu pengecualian interim duti import bagi pengimportan semula barangan buatan Malaysia sehingga Disember 2026. Yang tu dulu.

draft • 10:20 AM

Tuan Yang di-Pertua

Baik, saya jemput Hulu Terengganu.

draft • 10:30 AM

Dato’ Rosol bin Wahid - Hulu Terengganu

Terima kasih Tuan Yang di- Pertua, terima kasih Yang Amat Berhormat dengan jawapan yang begitu detil dan terima kasih juga kerana terima soalan saya ini.

Yang Amat Berhormat, saya ingin mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri lah kerana akhirnya mampu menunaikan janji menurunkan harga minyak ya— dijanjikan beberapa lama dahulu menjadikan petrol RM1.99 seliter dan diesel RM2.10 seliter, walaupun untuk 200 liter, okey.

Cuma, persoalannya ialah semasa zaman Dato’ Sri Najib, minyak Brent pernah mencecah sehingga RM139 per barel , USD179 per barel dan ketika itu tak pernah berlaku pun naik minyak diesel sehingga RM6.10. Hari ini RM4.70 yang tak ada subsidi.

Persoalan saya ialah, kenapa hal tersebut berlaku? Dan Perdana Menteri sebelum menjadi Perdana Menteri menjadikan alasan kenapa minyak tak turun kerana dia tak jadi Menteri. “Kerana kita kan negara pengeluar minyak, jangan bandingkan negara kita dengan negara yang tak ada minyak, kena banding dengan Qatar, Saudi dan Brunei. Kamu tak reti jaga negara, PETRONAS kaut untung berbilion, kerajaan jaga korporat bukan jaga rakyat. UMNO nak sakau dan jika harga minyak naik, harga barang mesti naik.” Itu alasan sebelum Perdana Menteri.

Bila dan jadi Perdana Menteri, alasan yang diberi yang pertama, “Ini masalah global.” Yang kedua ialah “Jangan melalak” dan yang ketiga, “Kalau rasa mahal, pindahlah ke Singapura dan Thailand.” Itu jawapan-jawapan yang diberi. Persoalan saya ialah kenapa hal tersebut berlaku zaman Bossku tak naik sehingga RM6.10 tetapi RM4.70 sekarang minyak berada sekitar USD80 per barel menjadi RM4.70.

Soalan cepumas yang kedua Yang Amat Berhormat Perdana Menteri.

Dengan keadaan ekonomi yang kurang stabil, masalah Hormuz yang belum selesai dan ekonomi serta politik pun tak stabil, adakah Perdana Menteri mencadangkan untuk nak mengembalikan suara rakyat, bubar Parlimen untuk pastikan politik lebih stabil dan ekonomi lebih stabil selepas ini? Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.

draft • 10:30 AM

Tuan Yang di-Pertua

Perdana Menteri.

draft • 10:30 AM

Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim

Terima kasih. Saya ini bagi peluang kepada Hulu Terengganu dan saya jawab.

Baik, pertamanya kita kata mengapa dulu kita turunkan dan tak boleh turun lebih daripada ini? Jangan kita banding dengan negara-negara yang bukan pengeluar minyak yang tinggi harganya. Harus banding dengan Qatar dan Saudi.

Yang Berhormat Hulu Terengganu, harga minyak di Malaysia ini lebih rendah daripada Qatar dan Arab Saudi.

[Tepuk] Ha, itu dia fakta yang pertama yang harus diingat. Cananglah bagaimanapun kenyataannya sekarang Tan Sri Yang di-Pertua, harga minyak kita lebih rendah.

Betul, masa kita turun, minta turun RM1.50 harga minyak di Arab Saudi 50 sen. Sekarang kita RM1.99 sen harga Arab Saudi lebih pada RM2.40.

[Tepuk] dan Qatar. Malah UAE, dua bulan lalu menaikkan harga minyak Qatar— maaf UAE pengeluar minyak dan gas yang besar. Jadi, ini kenyataan ekonomi yang berubah.

Jadi, kalau katakan saya janji dulu minyak harus lebih rendah dari Arab Saudi sudah ditunaikan, baik.

Yang keduanya, jadi, kalau dibangkitkan tentang masa pentadbiran Dato’ Sri Najib, benar tetapi saya sebut tadi konteksnya betul. Dari segi dana pembiayaan keseluruhannya itu sekarang jauh lebih tinggi Yang Berhormat. Saya baca tadi sebahagiannya tentang STR dan BUDI, STR dan SARA kemudian RON95 dan juga BUDI Diesel. Keseluruhannya bantuan itu jauh lebih tinggi daripada sebelumnya, kenyataan tapi saya tidak mahu bandingkan kerana keadaan itu mungkin berbeda dan pendapatan negara pun jauh lebih berkurangan daripada sekarang ya.

Yang soal sekarang ini, maknanya kalau berbeda ini saya sebutkan, tapi kalau Yang Berhormat Hulu Terengganu merasakan ada cadangan lain tentang bagaimana boleh turunkan harga, saya boleh pertimbangkan saya tak ada masalah kerana saya patut dengar dan saya bersetuju walaupun kita dalam M10 sebelum ini mesyuarat tiap minggu, sekarang kurang sikit sebab kita tengok keadaan dan lebih terkawal.

draft • 10:30 AM

Tuan Khoo Poay Tiong - Kota Melaka

[Bangun]

draft • 10:30 AM

Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim

Tetapi tidak, saya tidak pernah mengatakan bahawa kita punyai semua ubat yang mujarab dalam ekonomi dan kita harus dengar dan kita ubahsuai. Itulah yang sebabnya mengapa dalam mesyuarat-mesyuarat kita, kita tidak hanya panggil Menteri, kita panggil wakil-wakil syarikat, wakil pekebun dan mendengar pandangan mereka untuk kita ubahsuai di mana yang mampu, baik...

draft • 10:30 AM

Datuk Seri Utama Ir. Hasni bin Mohammad - Simpang Renggam

[Bangun]

draft • 10:30 AM

Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim

Tentang mendengar suara rakyat kita dengar suara rakyat ya. Saya percaya rakyat juga mahu kestabilan, rakyat juga mahu ekonomi berkembang, rakyat pun mahu jangan kita hanya politik sepanjang masa.

Jadi, bagilah masa kita ada mandat, sampai pilihan raya bertempurlah pula. Saya tak ada masalah itu ya. Cuma, jangan masing-masing— saya pun tak mahu terlalu yakin dan saya anggap Hulu Terengganu pun jangan terlalu yakin kerana kita [Berucap dalam bahasa Arab] Baik.

draft • 10:30 AM

Tuan Yang di-Pertua

Baik, saya jemput Simpang Renggam.

draft • 10:30 AM

Datuk Seri Utama Ir. Hasni bin Mohammad - Simpang Renggam

Terima kasih Tan Sri Yang di-Pertua.

Yang Amat Berhormat, kita membicarakan tentang laluan sempit yang strategik seperti Strait of Hormuz ini. Kita juga ada laluan yang sempit yang juga penting seperti Strait of Malacca. Jadi, Yang Amat Berhormat, adakah kerajaan bersedia untuk membantu Ahli Parlimen untuk mendapatkan katakan expert hearing berkaitan dengan pandangan daripada International Maritime Organization sebagai contoh untuk kita berfaham dengan lebih jelas tentang masa depan dari segi stabiliti ekonomi di laluan sempit ini Yang Amat Berhormat.

Jadi, di Melaka sebagai contoh, kita ada isu penetapan sempadan yang masih lagi outstanding, yang masih lagi tidak selesai antara Malaysia dengan Indonesia, Malaysia dengan Singapura. Jadi, adakah perkara-perkara itu ada dalam tangan kerajaan, mengambil pelajaran daripada apa yang berlaku di laluan sempit Strait of Hormuz ini sama ada— itu yang pertama.

Kedua, elok kalau boleh apa pandangan Yang Amat Berhormat, Ahli-ahli Parlimen diberi peluang untuk mendengar expert tentang daripada International Maritime Organization, mungkin untuk mendapatkan gambaran dengan lebih jelas, terima kasih.

draft • 10:30 AM

Tuan Yang di-Pertua

Baik, dipersilakan Perdana Menteri.

draft • 10:30 AM

Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim

Terima kasih Simpang Renggam. Soal International Maritime Organization (IMO) ini selalunya dia terikat kepada UNCLOS 1982 dan kita pun memang setuju.

Cuma, pentafsiran UNCLOS secara terperinci itu masih terserah kepada masing-masing dan negara. Umpamanya dalam menghadapi permasalahan sempadan di Laut China Selatan di antara Malaysia, China dan semua negara- negara ASEAN, apa yang diputuskan ialah oleh negara-negara ASEAN bahawa pertama tertakluk kepada UNCLOS dan kita putuskan untuk ada code of conduct kerana kita juga tahu tidak mudah kita selesaikan semua sekali. Masih ada pertikaian.

Jadi, code of conduct itu memastikan supaya tidak ada perseteruan dan ketegangan politik yang akan menjejaskan hubungan baik antara negara. Contoh yang baik juga ialah Joint Development Authority sepertimana kita lakukan dengan Thailand dan sekarang dengan Vietnam. Maknanya, walaupun kita tahu pertikaian itu sukar diselesaikan.

Masing-masing bawa hujah yang penting, kuat dan bawa umpamanya fakta- fakta sejarah sempadan dan sebagainya tapi dalam kes pengalaman kita dengan Vietnam, kawasan pertikaian itu without prejudice masih kekal milik kita atau milik mereka usulkan, tapi kita lakukan Joint Development Authority supaya kita dapat bangunkan dan dua-dua negara dapat faedah. Itu yang kita lakukan.

Malaysia sebagai negara maritim juga punyai masalah dengan semua negara sempadan. Brunei, Thailand, Indonesia, Singapura, Filipina dan negara-negara di Indochina dulunya dan negara China, tapi keputusan kita ialah pertama cari jalan rundingan cara damai.

Dan keduanya guna mekanisme antara pertamanya dua hala bilateral dan sekiranya ada beri masalah, masih terikat dengan UNCLOS ya kerana UNCLOS 1982 itu bagi garis panduan yang jelas.

draft • 10:30 AM

Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim

Setakat ini, dengan Brunei ada kemajuan yang besar. Hanya tinggal kawasan sedikit sahaja yang kita juga libatkan Kerajaan Negeri Sarawak. Juga dengan Indonesia, kawasan yang terlepas itu masih kita rundingkan dan melibatkan Kerajaan Sabah. Dalam tiap kali rundingan dua hala dengan Indonesia, dengan Presiden Prabowo Subianto, saya libatkan juga kedua-dua Ketua Menteri dan Premier. Mengenai Thailand, baru-baru ini, umpamanya, telah dipersetujui dengan Perdana Menteri Anutin ya.

Jadi, saya tidak fikir ia terlalu masalah kerana kita belajar dari pengalaman Selat Hormuz. Pertikaian sempadan kalau tidak ditangani dengan bijaksana dan gunakan umpamanya sentimen-sentimen kemarahan kelompok tertentu akan menjejaskan. Dan sekiranya ini berlarutan, maka timbul ketegangan tak dapat dihindari.

Sebab itu pilihan kita, Yang Berhormat Simpang Renggam, ialah terikat dengan perjanjian antarabangsa, tetapi kalau jawapannya UNCLOS sahaja, tak cukup. Sebab itu di ASEAN, UNCLOS 1982 tambah lagi dengan COC― Code of Conduct. Ini yang sekarang dimuktamadkan oleh negara-negara ASEAN dengan China, tetapi dengan negara-negara jiran, kita masih guna ruang sebaik mungkin dengan Singapura, dengan Brunei, dengan Filipina― walaupun dengan Filipina lebih rumit kerana isu Sabah yang masih dituntut, tapi dengan semua negara ASEAN lain, kita pilih jalan rundingan walaupun kadang-kadang rundingan itu lebih kerap dan kalau ada kebuntuan, kita tangguhkan untuk runding semula.

draft • 10:40 AM

Tuan Yang di-Pertua

Baik. Saya jemput Kota Melaka.

draft • 10:40 AM

Tuan Haji Ahmad Fadhli bin Shaari - Pasir Mas

Pasir Mas.

draft • 10:40 AM

Tuan Khoo Poay Tiong - Kota Melaka

Terima kasih Tan Sri Speaker.

draft • 10:40 AM

Tuan Haji Ahmad Fadhli bin Shaari - Pasir Mas

Speaker, biasa pembangkang dapat soalan ketiga.

draft • 10:40 AM

Tuan Yang di-Pertua

Refer balik soalan pertama tadi. Saya bagi dua-dua kan? Sekarang juga kita nak bagi dua-dua. Terima kasih. Silakan.

draft • 10:40 AM

Tuan Khoo Poay Tiong - Kota Melaka

Terima kasih Tan Sri Speaker. Yang Amat Berhormat, dalam langkah yang kita ambil untuk mengurangkan impak, ada dua kategori yang saya lihat mereka menghadapi impak yang besar.

Yang pertama ialah industri SME. Selain daripada mereka menghadapi kekangan kewangan, lagi satu masalah yang mereka hadapi ialah tentang sumber tenaga kerja, di mana terutamanya bagi kerja-kerja 3D iaitu dangerous, dirty dan juga difficult, mereka sukar untuk dapat pekerja tempatan dan mereka terpaksa bergantung kepada pekerja asing. Dan waktu sekarang ini mereka menghadapi― sungguhpun ada pekerja asing yang sedia ada, permit mereka telah tamat, mereka tidak dapat memperbaharui ataupun dapat pekerja asing yang baru.

Ini menjejaskan bisnes, perniagaan mereka. Sebab, sungguhpun ekonomi tidak stabil, sebenarnya ada banyak kilang juga mendapat tempahan yang lebih tambah, tetapi mereka tak dapat menunaikan tempahan tersebut kerana masalah tenaga kerja ini terutamanya pekerja asing. Jadi, apakah langkah yang boleh diambil oleh pihak kerajaan?

Yang kedua, berkaitan dengan golongan muda, terutamanya mereka yang baru saja lepasan universiti. Bagaimana kita boleh bantu mereka? Sebab, baru-baru ini, Menteri Besar Johor dia mencaci, mengatakan kita janji hapuskan PTPTN tetapi kerajaan tak hapuskan. Ini yang disebut oleh Menteri Besar Johor. Sedangkan, Menteri Pendidikan Tinggi yang menjaga PTPTN ialah daripada UMNO. Jadi, adakah Yang Amat Berhormat boleh mempertimbangkan sekali lagi supaya kita hapuskan PTPTN tersebut? Terima kasih. Terima kasih, Tan Sri.

draft • 10:40 AM

Tuan Yang di-Pertua

Baik.

draft • 10:40 AM

Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee - Beluran

Speaker, saya mahu penjelasan Speaker. Adakah soalan tambahan dalam PMQT ini tertakluk kepada yang berkaitan dengan soalan asal?

draft • 10:40 AM

Dato' Seri Anwar bin Ibrahim

Ya. Terima kasih, Kota Melaka. Yang PTPTN, tak apalah, saya akan bincang dengan baiklah kerana Menteri Besar Johor pun dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan. Jadi, kita runding dengan baik.

Dan soal PTPTN itu kita bincang dengan Menteri KPT. Baik.

Tentang tenaga kerja ini, memang isu rumit di mana negara di dunia pun bila ada kebanjiran pekerja asing, dia akan menimbulkan reaksi kepada rakyat. Seperti mana kita faham reaksi terhadap masyarakat pekerja asing terutama Rohingya sekarang. Apa lagi kalau mereka ini dikenali sebagai kelompok yang juga kadang- kadang melanggar peraturan atau mengambil alih pekerjaan yang tradisional orang tempatan di pasar-pasar raya dan sebagainya.

Sebab itu kita setuju supaya penguatkuasaan lebih tegas. Yang ada permit yang boleh berniaga, yang ada permit dan boleh bekerja. Kalau tidak, tindakan tegas harus diambil tanpa kira dia daripada suku kaum apa termasuk Rohingya. Keputusan kita― dan saya ucap tahniah kepada imigresen, AKPS dan badan-badan penguatkuasaan kerana mengambil tindakan yang tegas.

Ini juga akan mengundang kritikan kerana seolah-olah kita tidak adil kepada pekerja asing. Tapi, mana-mana negara pun mesti ada peraturannya. Kalau peraturan dipatuhi, sama ada pekerja tempatan atau pekerja asing, kita akan beri perlindungan. Tapi kalau peraturan dilanggar, tempat-tempat perniagaan dirampas, tentunya akan menimbulkan reaksi negatif. Jadi, sebaiknya badan penguatkuasaan harus tegas.

Kita memerlukan tenaga pekerja asing itu satu kenyataan, tapi yang ada di Malaysia pun ramai, dah berjuta. Yang diperlukan berjuta. Jadi, patut ada sekarang penyelarasan supaya yang sudah ada di Malaysia itu diberikan tempat bekerja daripada diimport lagi dari luar. Kerana kita tahu sindiket pekerja asing itu juga satu hal yang membebankan selama puluhan tahun dan menjadi tempat untuk orang mengaut kekayaan. Jadi, sebab itu, bagi saya, isu ini harus ditangani kerana ada beberapa sektor pekerjaan yang memang diperlukan.

Ada yang kata restoran kecil dan sebagainya, tapi harus diteliti oleh kedua- dua Kementerian Sumber Manusia dan juga Kementerian Dalam Negeri dari sudut keselamatannya, tapi pokoknya, saya setuju dua perkara.

Pertama, ada keperluan untuk menambah pekerja asing tetapi harus ikut saluran dan peraturannya. Yang kedua, yang ada di sini yang melanggar peraturan yang sedia ada, tindakan tegas harus diambil.

Soal, umpamanya, kepentingan golongan muda. Kerana keutamaan kita adalah di mana saja peluang pekerjaan yang ada, mesti diberi keutamaan kepada anak tempatan. Sekarang ini banyak syarikat-syarikat kadang dia minta tenaga profesional. Jadi, kita pada peringkat awal mudah memberikan keizinan. Ada agensi- agensi yang beri mudah. Tapi, bila kita teliti, tak benar. Umpamanya, untuk AI tetapi yang bekerja itu untuk bukan di peringkat kemahiran dan kepakaran, kadang-kadang untuk HR, human resource punya department. Jadi, tak munasabah rakyat Malaysia tak boleh.

Sebab itu kita sekarang telah tidak memberikan kemudahan kepada agensi- agensi memilih sesuka hati tapi harus teliti dan pertahankan syarat-syarat yang ketat.

Kalau kita perlu kemahiran, kepakaran dari segi semicon ataupun AI, kita boleh bawa. Tetapi, jangan guna alasan itu untuk bawa dalam satu syarikat dengan tenaga kerja yang bukan mahir. Ini yang kita sedang usahakan.

draft • 10:40 AM

Tuan Yang di-Pertua

Baik. Yang Berhormat, sekarang tamatlah sesi untuk Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri dan kita mulakan Sesi Pertanyaan- pertanyaan bagi Jawab Lisan.

[Sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri tamat]

draft • 10:40 AM
PERTANYAAN-PERTANYAAN BAGI JAWAB LISAN

Tuan Yang di-Pertua

Baik, kita mulakan dengan saya menjemput Dato Ir.

Haji Yusuf bin Haji Abd Wahab, Tanjong Manis.

draft • 10:40 AM

Dato Ir. Haji Yusuf bin Haji Abd Wahab - Tanjong Manis

Terima kasih, Tan Sri Yang di-Pertua. Soalan saya nombor 1.

draft • 10:40 AM

1. Dato Ir. Haji Yusuf bin Haji Abd Wahab [Tanjong Manis] minta Menteri Pengangkutan menyatakan, langkah-langkah serius oleh kementerian untuk menoktahkan lumba haram kenderaan di lebuh raya seluruh negara seperti yang terjadi di Simpang Renggam pada 1 Jun 2026. Apakah kementerian akan mengenakan hukuman lebih berat kepada pemandu kenderaan lumba haram yang menyebabkan kematian kepada pemandu atau penumpang lain.

draft • 10:40 AM

Tuan Yang di-Pertua

Silakan Menteri.

draft • 10:40 AM

Menteri Pengangkutan - Tuan Loke Siew Fook

Terima kasih Tan Sri Yang di-Pertua. Salam sejahtera, salam Malaysia MADANI kepada Ahli-ahli Yang Berhormat.

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Kementerian Pengangkutan memandang serius insiden tragik yang berlaku pada 1 Jun 2026 di Kilometer 27 Jalan Renggam, Simpang Renggam–Kluang, Johor yang telah meragut lima nyawa termasuk empat ahli sebuah keluarga. Salam takziah kepada ahli keluarga dan memang kita amat bersimpati dan sedih di atas kemalangan tersebut. Kemalangan ngeri ini disebabkan oleh dua individu yang memandu kenderaan mewah pada kelajuan tinggi secara berbahaya dan melulu.

Kementerian telah mengambil langkah-langkah tegas dan komprehensif bagi membanteras aktiviti lumba haram di seluruh negara seperti berikut.

Pertama, Rang Undang-undang Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2026.

Kementerian telah membentangkan Rang Undang-undang Pengangkutan Jalan

(Pindaan) 2026 untuk bacaan pertama di Dewan Rakyat pada 22 Jun lalu.

draft • 10:40 AM

Menteri Pengangkutan - Tuan Loke Siew Fook

Rang undang-undang ini telah diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 24 Jun 2026 dan akan dibentang di Dewan Negara apabila Mesyuarat Dewan Negara bermula pada minggu hadapan. Rang undang-undang ini memperkenalkan seksyen 42A baharu yang mewujudkan kesalahan khusus bagi aktiviti lumba haram iaitu kesalahan pertama, denda tidak kurang daripada RM2,000 dan tidak melebihi RM10,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya. Kesalahan kedua atau berulang, denda tidak kurang daripada RM5,000 dan tidak melebihi RM20,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya.

Penguatkuasaan berterusan. Kementerian melalui agensi-agensi penguatkuasaan telah meningkatkan operasi membanteras lumba haram di seluruh negara. Sebagai contoh, operasi terkini di Johor telah berjaya menangkap 16 individu dan merampas 260 buah motosikal yang terlibat dalam aktiviti lumba haram.

Tuan Yang di-Pertua, bagi menjawab soalan Yang Berhormat mengenai hukuman lebih berat terhadap pemandu lumba haram yang menyebabkan kematian.

Saya ingin memaklumkan bahawa undang-undang sedia ada sudah memperuntukkan hukuman yang berat. Dalam kes Simpang Renggam, Pejabat Peguam Negara telah mengarahkan siasatan di bawah seksyen 302, Kanun Keseksaan iaitu pertuduhan membunuh yang membawa hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun, termasuk sekurang-kurangnya 12 sebatan jika tidak dijatuhi hukuman mati.

Selain itu, kementerian sememangnya sedang mencadangkan pindaan kepada Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi memperkenalkan mekanisme pampasan kepada mangsa atau waris yang sah bagi kemalangan jalan raya yang menyebabkan kematian atau kecederaan serius. Melalui cadangan ini, mahkamah akan diberi kuasa untuk memerintahkan pesalah yang disabitkan oleh kesalahan serius di bawah Akta 333 membayar pampasan kepada mangsa atau waris berdasarkan fakta dan merit setiap kes, termasuk tahap kecederaan atau kematian, kerugian yang dialami serta kemampuan pesalah untuk membayar.

Ini menunjukkan komitmen kerajaan bahawa pemandu yang menyebabkan kematian akibat pemanduan berbahaya dan melulu tidak akan dilayan sebagai pesalah trafik biasa. Sebaliknya, akan dikenakan tindakan undang-undang yang paling berat mengikut kesesuaian kes. Kementerian akan terus bekerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri, Polis Diraja Malaysia dan Pejabat Peguam Negara bagi memastikan penguatkuasaan yang tegas dan hukuman yang setimpal demi keselamatan semua pengguna jalan raya. Terima kasih.

draft • 10:50 AM

Tuan Yang di-Pertua

Baik, saya jemput Tanjong Manis.

draft • 10:50 AM

Dato' Ir. Haji Yusuf bin Haji Abd Wahab - Tanjong Manis

Terima kasih Tan Sri Yang di-Pertua, terima kasih Yang Berhormat Menteri atas jawapan kepada soalan tadi.

Yang Berhormat Menteri, selang sebulan selepas kemalangan di Simpang Renggam, satu lagi kemalangan telah berlaku pada 11 Julai di LPT1 berhampiran Tol Jabor yang mengorbankan empat nyawa. Saya mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga. Soalan saya, apakah kegiatan lumba haram ini tidak dapat dibendung lagi sehinggakan lebih banyak nyawa yang tidak berdosa hilang disebabkan lumba haram?

Dan Yang Berhormat Menteri, setuju kah Yang Berhormat Menteri jika saya mengatakan bahawa hukuman sedia ada ke atas kesalahan kemalangan jalan raya tidak mencukupi dan memerlukan tindakan punitif yang lebih berat lagi supaya kegiatan lumba haram ini dapat kita banteras ataupun dapat kita hapuskan sama sekali? Terima kasih Yang Berhormat Menteri.

draft • 10:50 AM

Tuan Yang di-Pertua

Silakan, Menteri.

draft • 10:50 AM

Tuan Loke Siew Fook

Ya, terima kasih Yang Berhormat. Yang pertamanya, memang kita telah pun membuat pindaan untuk mengambil langkah terhadap langkah-langkah punitif terhadap aktiviti lumba haram ini. Seperti yang saya kata, kalau sebelum ini— sebelum pindaan yang dibuat ini, punitif itu ataupun hukuman itu hanya boleh dijatuhkan selepas berlaku kemalangan.

Jadi sekarang ini, kita telah buat pindaan bahawa mana-mana pihak yang terlibat dalam lumba haram, walaupun sebelum kemalangan itu berlaku. Kalau terlibat sahaja dalam aktiviti lumba haram itu, maka dia boleh didakwa, disabitkan kesalahan dan dijatuhkan hukuman. Seperti yang saya katakan, kesalahan pertama pun denda tidak kurang RM2,000 dan tidak melebihi RM10,000 atau penjara dua tahun.

Jadi, ada tindakan punitif ini untuk mencegah supaya mesej yang kita hendak hantar itu kepada masyarakat ialah bahawa aktiviti lumba haram ini sangat membahayakan. Jangan terlibat dalam aktiviti ini supaya tindakan punitif ini dapat mencegah.

draft • 10:50 AM

Tuan Ir. Ts. Haji Khairil Nizam bin Khirudin - Jerantut

[Bangun]

draft • 10:50 AM

Tuan Loke Siew Fook

Itu harapan kita. Namun begitu, kita pun tahu, dalam apa sahaja undang-undang, walaupun undang-undang yang ketat, undang-undang yang berat, masih ada orang yang akan mencabar undang-undang tersebut. Jadi, ada pelbagai pendekatan lain yang perlu digunakan.

Jadi, saya berharap bahawa semua pihak, termasuk wakil rakyat, termasuk pemimpin masyarakat, Ahli Parlimen sendiri, boleh memainkan peranan mengadakan kempen-kempen kesedaran, sentiasa memberikan penerangan kepada anak-anak muda, kepada masyarakat dan sebagainya supaya yang pertamanya, menyedarkan mereka bahawa apabila berlumba di atas jalan raya, itu satu kegiatan yang sangat membahayakan diri mereka dan ini akan menyebabkan mereka juga akan terdedah kepada pelbagai risiko lain.

Jadi harapan saya ialah, selain daripada tindakan penguatkuasaan undang- undang, masyarakat dan juga pemimpin-pemimpin masyarakat juga memainkan peranan masing-masing supaya sama-sama kita memberikan mesej yang jelas bahawa lumba haram ini adalah sesuatu yang tak boleh dikompromikan. Jadi, ini sesuatu yang kita harap dapat dilaksanakan, dapat diperjelaskan lagi secara meluas kepada masyarakat. Terima kasih.

draft • 10:50 AM

Tuan Yang di-Pertua

Baik, saya jemput Jerantut.

draft • 10:50 AM

Tuan Ir. Ts. Haji Khairil Nizam bin Khirudin - Jerantut

Bismillahirrahmanirrahim, Assalamualaikum warahmatullahi dan salam sejahtera.

Terima kasih Tan Sri Yang di-Pertua, terima kasih Yang Berhormat Menteri. Seperti mana respons saya pada pihak Menteri berkenaan dengan cadangan-cadangan yang telah pun Ahli Parlimen bawa sewaktu kita membahaskan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan) 2026 yang focusing kepada to curb ataupun untuk menyelesaikan lumba haram ini.

Permasalahan yang sama juga dihadapi oleh negara Jerman yang di mana kalau dilihat, pakar psikologi trafik mengatakan yang pelumba haram ini Yang Berhormat Menteri, mereka ini ada parallel lower. Dia kalau tak lumba, dia bawa motor, okey. Dia bawa kereta, okey, tapi bila masuk rejim lumba, dia berubah dia punya behaviour dia dan ia dibuat satu kajian sains tentang perubahan sikap yang di mana kebanyakan daripada kita pun begitu. Mereka tidak ada banyak rekod kesalahan, tetapi bila masuk hari Sabtu malam Ahad, dia berubah sebab dia bersama dengan geng-geng dia.

Jadi, saya ingin bertanya kepada pihak kementerian, daripada cadangan- cadangan dan juga respons yang dibuat oleh kementerian, oleh pihak Yang Berhormat Menteri sendiri. Apakah pihak Menteri MOT sudi ataupun boleh ada political will untuk menjadi leader kepada satu— kita namakan sebagai satu strategi nasional merentasi kementerian. Sebab tadi pihak Menteri bagi tahu, melibatkan mak ayah, definitely akan melibatkan kementerian keluarga. Melibatkan anak muda, KBS...

draft • 10:50 AM

Tuan Yang di-Pertua

Jerantut, panjang sangat lah.

draft • 10:50 AM

Tuan Ir. Ts. Haji Khairil Nizam bin Khirudin - Jerantut

Ya. Jadi, apakah ia dapat dijadikan sebagai satu strategi nasional untuk kita menyelesaikan masalah ini? Terutama sekali kerana dia melibatkan behavioral science yang amat mendesak.

Terima kasih.

draft • 10:50 AM

Tuan Yang di-Pertua

Baik.

draft • 10:50 AM

Tuan Loke Siew Fook

Ya, saya mengalu-alukan apa-apa sahaja usaha ataupun apa-apa perancangan yang boleh dijadikan sebagai satu agenda nasional.

Seperti yang saya katakan, keselamatan jalan raya ini adalah satu agenda nasional.

Ia merentasi parti, merentasi politik, merentasi kementerian dan memerlukan bukan sahaja political will tetapi the whole society will. Jadi, political will sahaja tak cukup.

Kita sebagai ahli politik, sebagai Menteri, ada political will. Saya bawa pindaan undang-undang, mungkin ada yang setuju, mungkin ada yang tak setuju, tapi kita membawa daripada segi memperkemaskan kerangka undang-undang kita, tetapi seperti yang dikatakan, ada behavioral change yang diperlukan. Ada kesan psikologi dia, ada pelbagai mungkin kesan-kesan ataupun faktor-faktor sampingan dia yang menyebabkan mengapa seseorang itu pergi berlumba.

Jadi, memang ini perlu dilihat dari pelbagai sudut tetapi sudah tentu Kementerian Pengangkutan, fokus kita ialah lebih kepada undang-undang, kepada penguatkuasaan, kepada pematuhan dan sebagainya. Jadi, apabila kalau ada mana-mana pihak ada usaha dan sudah tentu Kementerian Pengangkutan akan bersetuju untuk bersama-sama untuk menyokong usaha itu dan memainkan peranan kita.

Memainkan peranan apa yang boleh menggerakkan segala tenaga dan juga sumber yang ada dalam Kementerian Pengangkutan, dalam ekosistem Kementerian Pengangkutan. Itu tak ada masalah. Cuma seperti yang saya katakan, kerjasama itu perlu merentasi. Di semua pihak, perlu ada agenda ini sebab ini adalah agenda nasional. Bukan sahaja lumba haram, tetapi keselamatan jalan raya secara umumnya. Seperti yang saya katakan, lebih enam ribu orang mati setiap tahun, Tan Sri Yang di-Pertua.

Kalau ini tak menyedarkan masyarakat bahawa ini adalah satu malapetaka yang besar kepada negara kita setiap tahun, jadi ini perlu difahami oleh rakyat. Jadi, apabila kita buat pelbagai langkah, kadangkala langkah-langkah untuk membantu, mengubah sikap keselamatan jalan raya ini juga disalahertikan. Menteri ini kejam, Menteri ini tak belas kasihan, Menteri ini buat susah bagi pemandu dan sebagainya.

Macam-macam saya dikecam, Tan Sri Yang di-Pertua, tetapi kalau itu bukan political will, saya tak tahulah ada apa will lagi. Jadi, saya ada will itu untuk memastikan bahawa mesej keselamatan jalan raya ini dapat diteruskan.

Jadi, saya berharap semua pihak boleh menyokong agenda nasional ini.

Kalau agenda untuk menjadikan negara kita ini lebih selamat daripada kemalangan jalan raya, termasuk daripada lumba haram dan sebagainya, saya berharap jangan ada mana-mana pihak untuk mempolitikkan isu keselamatan jalan raya. Jadi, sama- samalah kita membantu untuk menjadikan jalan raya kita ini lebih selamat. Terima kasih.

draft • 10:50 AM

Tuan Yang di-Pertua

Baik, seterusnya saya jemput soalan daripada Tuan Rushdan bin Rusmi, Padang Besar.

draft • 11:00 AM

Tuan Rushdan bin Rusmi - Padang Besar

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera, terima kasih Tan Sri Yang di- Pertua. Saya hendak pantun sikit.

Dari Pensiangan ke Padang Besar, Mari meninjau Mergastua; ...Bukan mertua ya.

YB Menteri yang berjiwa besar; Soalan saya nombor dua.

draft • 11:00 AM

2. Tuan Rushdan bin Rusmi [Padang Besar] minta Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam menyatakan, apakah mekanisme kawalan bagi memastikan royalti sumber asli yang dibayar kepada kerajaan negeri benar-benar sampai kepada komuniti yang menanggung kos sosial dan ekologi pengeluaran.

draft • 11:00 AM

Tuan Yang di-Pertua

Silakan Menteri.

draft • 11:00 AM

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam - Dato' Sri Arthur Joseph Kurup

Selamat pagi, salam sejahtera. Terima kasih Tan Sri Yang di-Pertua, terima kasih Yang Berhormat Padang Besar.

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, pengagihan royalti sumber asli adalah tertakluk kepada bidang kuasa sumber asli yang berkenaan. Bagi sumber asli di bawah bidang kuasa kerajaan negeri seperti mineral, Kerajaan Persekutuan tidak mempunyai kuasa untuk menentukan kaedah pengagihan royalti kepada komuniti.

Walau bagaimanapun, Kerajaan Persekutuan terus memainkan peranan melalui pelbagai mekanisme insentif perundangan dan dasar bagi memastikan komuniti setempat terus mendapat perlindungan dan manfaat.

Sebagai mekanisme insentif, Kerajaan Persekutuan telah menyediakan insentif kewangan bagi konservasi biodiversiti dan hutan ataupun Ecological Fiscal Transfer for biodiversity conservation (EFT) kepada kerajaan negeri bagi pelaksanaan projek pemuliharaan biodiversiti dan hutan sejak tahun 2019.

Bagi tahun 2026, Kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan sebanyak RM250 juta di bawah EFT kepada semua kerajaan negeri. Sebagai contohnya daripada jumlah tersebut, negeri Perlis menerima sebanyak RM12.1 juta bagi menyokong pelaksanaan inisiatif konservasi serta tambahan sebanyak RM1.7 juta sebagai hasil negeri.

Bagi memastikan insentif tersebut memberi manfaat secara langsung kepada komuniti setempat, garis panduan pelaksanaan EFT yang dikeluarkan oleh kementerian menetapkan antara skop pembiayaan yang dibenarkan termasuk program perkongsian tanggungjawab bersama komuniti dan masyarakat setempat atau juga dikenali sebagai Communication, Education and Public Awareness (CEPA) serta latihan pembangunan sumber manusia.

Seterusnya daripada aspek perundangan, Akta Akses kepada Sumber Biologi dan Perkongsian Faedah 2017 atau Akta 795 dikuatkuasakan bagi melindungi penggunaan sumber biologi dan pengetahuan tradisi yang berkaitan dengannya bagi tujuan penyelidikan dan pembangunan ataupun R&D. Akta ini mewujudkan mekanisme bagi memastikan terdapat perkongsian faedah secara adil dan saksama dengan masyarakat peribumi serta komuniti tempatan. Ia juga turut mensyaratkan persetujuan awal komuniti berserta perjanjian perkongsian faedah sebelum sesuatu sumber atau pengetahuan tradisi boleh digunakan bagi tujuan komersial.

Daripada aspek dasar pula, Dasar Perhutanan Malaysia dan Pelan Strategik Perhutanan Sosial Malaysia 2021–2025, memperkukuh penglibatan komuniti tempatan melalui pelaksanaan program perhutanan sosial seperti ekopelancongan, perhutanan tani dan penghasilan hasil hutan bukan kayu bagi mewujudkan peluang pekerjaan serta meningkatkan pendapatan komuniti.

Pendekatan ini selaras dengan Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan 2022–2030 yang mengiktiraf komuniti tempatan sebagai rakan strategik dalam pemuliharaan biodiversiti melalui penglibatan aktif pembangunan kapasiti dan pelaksanaan program berasaskan komuniti.

Dalam sektor mineral pula, kerangka Dasar Mineral Negara Ketiga melalui teras 5 memberi penekanan kepada prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus ataupun ESG yang menggalakkan pembangunan mineral secara bertanggungjawab dan mampan termasuk memperkukuh komunikasi pendidikan kesedaran awam serta kerjasama dengan komuniti bagi memastikan pembangunan mineral dilaksanakan secara bertanggungjawab dan mengambil kira kesejahteraan komuniti setempat.

Kesimpulannya, walaupun pengagihan royalti sumber asli merupakan bidang kuasa kerajaan negeri, tetapi Kerajaan Persekutuan akan terus memperkukuh mekanisme insentif, kawal selia dan dasar bagi memastikan pembangunan sumber asli dilaksanakan secara bertanggungjawab dan mampan di samping melindungi kepentingan serta kesejahteraan komuniti setempat. Sekian dan terima kasih.

draft • 11:00 AM

Tuan Yang di-Pertua

Baik, saya jemput Padang Besar.

draft • 11:00 AM

Tuan Rushdan bin Rusmi - Padang Besar

Okey. Terima kasih Yang Berhormat Menteri atas jawapan yang begitu memberangsangkan.

Contohnya di Perlis ada Banjaran Nakawan, ada yang, antara yang banyak memberi impak. Memandangkan komuniti setempat yang dimaklumkan tadi banyak memberi royalti kepada kerajaan, terima kasih juga kepada sumbangan royalti kepada kerajaan negeri, tetapi komuniti setempat adalah komuniti yang amat terkesan daripada aktiviti pengeluaran sumber asli melalui pencemaran, kehilangan sumber pendapatan dan kemerosotan biodiversiti.

Adakah kementerian bercadang memperkenalkan satu lagi atau mekanisme perkongsian manfaat atau benefit-sharing mechanism yang lebih telus dan adil termasuk meletakkan formula atau kadar minimum agihan hasil royalti bagi membiayai pembangunan komuniti, pemulihan alam sekitar dan mitigasi impak di kawasan pengeluaran selaras dengan amalan terbaik antarabangsa. Sekian.

draft • 11:00 AM

Tuan Yang di-Pertua

Baik, Menteri.

draft • 11:00 AM

Dato' Sri Arthur Joseph Kurup

Terima kasih Yang Berhormat Tan Sri Speaker, terima kasih Yang Berhormat Padang Besar.

draft • 11:00 AM

Dato’ Mohd Isam bin Mohd Isa - Tampin

[Bangun]

draft • 11:00 AM

Tuan Haji Onn bin Abu Bakar - Batu Pahat

[Bangun]

draft • 11:00 AM

Puan Rodiyah binti Sapiee - Batang Sadong

[Bangun]

draft • 11:00 AM

Dato' Sri Arthur Joseph Kurup

Sebelum saya menjawab soalan, izinkan saya untuk mengalu-alukan kehadiran rombongan pelajar-pelajar Tingkatan 6 daripada SMK Nabawan, SMK Sook dan SMK Keningau yang telah menyeberangi Laut China Selatan untuk datang ke sini pada hari ini.

[Tepuk] Kehadiran pelajar-pelajar tersebut telah memberikan saya semangat dan inspirasi untuk membalas pantun daripada YB Padang Besar.

Sawah menghijau luas terbentang; Harumanis menjadi kebanggaan negara; YB Padang Besar bertanya dengan tenang; Izinkan saya bagi jawapannya. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, kerajaan juga berpandangan bahawa manfaat pembangunan sumber asli perlu turut dirasai oleh komuniti setempat di samping memastikan kelestarian alam sekitar. Jadi untuk maklumat, pada masa ini kebanyakan negeri melalui perundangan yang berkaitan mineral masing-masing telah memperuntukkan Kumpulan Wang Pemulihan Lombong dan juga Kumpulan Wang Pemulihan Bersama yang menerima sejumlah bayaran dari pemegang pajakan atau lesen bagi menjamin kerja-kerja pemulihan kawasan perlombongan.

Namun, selaras dengan amalan terbaik antarabangsa, Kerajaan Persekutuan sentiasa terbuka untuk berkongsi model, perkongsian manfaat yang boleh diamalkan daripada negara lain, tetapi bagi menghormati kuasa kerajaan negeri, pendekatan yang lebih sesuai bukanlah untuk menetapkan formula penggunaan royalti oleh Persekutuan, tetapi untuk berbincang dan menggalakkan negeri-negeri yang bersetuju untuk melaksanakan pendekatan yang sesuai termasuk meneroka perwujudan dana pembangunan komuniti dan dana ini boleh dibiayai mengikut mekanisme yang diputuskan oleh kerajaan negeri sendiri dan digunakan oleh pembangunan komuniti, pemulihan alam sekitar serta mitigasi impak kawasan perlombongan.

Pendekatan ini juga selari dengan amalan antarabangsa, namun tetap menghormati pembahagian kuasa di bawah Perlembagaan Persekutuan. Sekian dan terima kasih.

draft • 11:00 AM

Tuan Yang di-Pertua

Baik, saya jemput Tampin.

draft • 11:00 AM

Dato’ Mohd Isam bin Mohd Isa - Tampin

Terima kasih Tan Sri Yang di- Pertua. Yang Berhormat Menteri, Dasar Pasaran Karbon Kebangsaan (DPKK) merupakan inisiatif penting kerajaan dalam memperkukuh agenda pembangunan rendah karbon serta menyokong komitmen negara terhadap perubahan iklim.

Walau bagaimanapun, pelaksanaan dasar ini melibatkan aspek perhutanan, penggunaan tanah dan pembangunan projek kredit karbon yang berkait rapat dengan hak serta bidang kuasa kerajaan negeri terhadap sumber asli.

Sehubungan itu, saya ingin tahu, apakah mekanisme yang telah diwujudkan bagi memastikan pelaksanaan Dasar Pasaran Karbon Kebangsaan dilaksanakan secara bersepadu tanpa menjejaskan hak dan bidang kuasa kerajaan negeri di samping menjamin pengagihan manfaat ekonomi yang adil kepada negeri-negeri supaya manfaat tersebut sampai kepada golongan sasar atau komuniti yang terlibat secara latihan. Terima kasih Tan Sri Yang di-Pertua.

draft • 11:00 AM

Tuan Yang di-Pertua

Silakan Menteri.

draft • 11:00 AM

Dato' Sri Arthur Joseph Kurup

Terima kasih Yang Berhormat Tampin.

Tahun ini merupakan tahun yang agak besar bagi Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam. Sebab, yang pertama kita telah meluncurkan Dasar Pasaran Karbon Kebangsaan pada April tahun ini.

draft • 11:00 AM

Dato' Sri Arthur Joseph Kurup

Dan yang kedua, kita tidak lama lagi akan membentangkan Rang Undang- undang Perubahan Iklim Negara supaya kita boleh melaksanakan perdagangan karbon.

Dan kita faham bahawa kawasan hutan simpan ini dia adalah milik daripada kerajaan-kerajaan negeri dan kerajaan negeri juga perlu untuk menjaga kebajikan komuniti setempat yang ada di kawasan tersebut, tetapi Kerajaan Persekutuan lah menjadi focal point untuk memenuhi keperluan dan obligasi antarabangsa negara kita untuk mencapai sasaran NDCs— Nationally Determined Contributions dan juga mencapai pelepasan GHG sifar bersih negara menjelang tahun 2050.

Maka, kita sentiasa memastikan bahawa apa saja perundangan yang akan dibentangkan, dia mesti selari dan tidak bertindih dengan kerajaan negeri. Dan kita telah melaksanakan lebih daripada 20 sesi libat urus dengan kerajaan-kerajaan negeri untuk memastikan apabila RUUPIN itu dibentangkan kelak, dia akan selari dan tidak akan ada pertindihan dengan peruntukan-peruntukan kerajaan negeri dan memastikan bahawa apa saja kebaikan dan manfaat perlu diambil kira komuniti setempat yang menjadi custodian kepada kawasan tersebut. Sekian dan terima kasih.

draft • 11:10 AM

Tuan Yang di-Pertua

Baik, seterusnya saya jemput Tuan Roy Angau anak Gingkoi, Lubok Antu.

draft • 11:10 AM

Tuan Roy Angau anak Gingkoi - Lubok Antu

Terima kasih Tuan Yang di- Pertua, Tan Sri Yang di-Pertua, soalan saya nombor 3.

draft • 11:10 AM

3. Tuan Roy Angau anak Gingkoi [Lubok Antu] minta Menteri Dalam Negeri menyatakan, prosedur dan garis panduan pelaksanaan hukuman kawad tambahan dalam Polis Diraja Malaysia serta langkah bagi memastikan pelaksanaannya tidak menjejaskan keselamatan anggota.

draft • 11:10 AM

Tuan Yang di-Pertua

Silakan Menteri.

draft • 11:10 AM

Timbalan Menteri Dalam Negeri - Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar bin Haji Nasarah

Terima kasih yang Berhormat Tan Sri, Yang Berhormat Lubok Antu.

Pelaksanaan Tugas Medan lazimnya dirujuk sebagai kawad tambahan. Ini dilaksana berdasarkan Pelaksanaan Tugas Medan, perenggan 32, Perintah Tetap Ketua Polis Negara A110 (Tatatertib) sebagai salah satu bentuk tindakan terhadap pelanggaran kesalahan yang ringan. Langkah ini sebenarnya bertujuan untuk mendidik, membentuk sahsiah serta meningkatkan tahap disiplin anggota PDRM.

Untuk makluman Yang Berhormat, peruntukan ini membolehkan mana-mana pegawai polis berpangkat Sarjan dan ke atas termasuk Koperal Tatatertib mengarahkan pegawai rendah polis atau Konstabel menjalani proses pembentukan dan perubahan sikap sebagai alternatif kepada tindakan tatatertib melalui pelaksanaan tugas atau latihan tambahan bagi tempoh tidak melebihi empat jam sehari dan tidak melebihi lima hari.

Dari segi prosedur pelaksanaan hukuman, Arahan Ketua Polis Negara No.

182, SOP. Pelaksanaan perenggan 32 PTKPN A110 (Tatatertib) bertarikh 30 Disember 2022 telah menggariskan tatacara pelaksanaan, tanggungjawab pegawai yang terlibat serta mekanisme pemantauan dan penyeliaan bagi memastikan tindakan yang diambil mematuhi peruntukan ditetapkan bagi kesalahan-kesalahan yang dilakukan.

Selain itu Yang Berhormat, aspek-aspek kebajikan, keselamatan, kesihatan anggota turut diberi perhatian melalui penyeliaan berterusan sepanjang Pelaksanaan Tugas Medan tambahan ini. Walau bagaimanapun, PDRM akan terus menambah baik tatacara pelaksanaan ini dari semasa ke semasa termasuk memperkukuhkan aspek keselamatan, pemantauan dan kebajikan anggota.

Untuk makluman Yang Berhormat, telah berlaku beberapa insiden. Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard telah pun mengeluarkan Arahan Pentadbiran JIPS Bilangan 1/2026 bertarikh 29 Jun iaitu penggunaan borang pengesahan tahap kesihatan bagi tujuan penambahbaikan pelaksanaan perenggan 32 Perintah Tetap Ketua Polis Negara A110 (Tatatertib). Terima kasih.

draft • 11:10 AM

Tuan Yang di-Pertua

Baik. Saya jemput Lubok Antu.

draft • 11:10 AM

Tuan Roy Angau anak Gingkoi - Lubok Antu

Terima kasih Timbalan Menteri atas jawapan ya. Baru-baru ini kita telah digemparkan dengan satu insiden yang menyebabkan kematian kepada salah seorang anggota ketika menjalankan kawad tambahan di IPD Sepang if I am not mistaken, pada Mei yang lalu.

Jadi, soalan saya kepada Timbalan Menteri, memandangkan terdapat kes kematian dan kecederaan serius yang dikaitkan dengan hukuman kawad, adakah kementerian akan mengkaji semula SOP pelaksanaan kawad tambahan dalam PDRM termasuk aspek pemeriksaan kesihatan, had tempoh kawad dan pemantauan bagi mengelakkan insiden seperti strok haba?

Selain itu, mengapakah hukuman kawad tambahan lazimnya dikenakan kepada anggota bawahan sedangkan pegawai dikenakan bentuk hukuman yang berbeza? Adakah kementerian bercadang menyeragamkan prinsip tindakan disiplin tanpa mengira pangkat bagi memastikan keadilan?

draft • 11:10 AM

Tuan Yang di-Pertua

Sila Menteri.

draft • 11:10 AM

Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar bin Haji Nasarah

Yang di-Pertua, sahabat saya Lubok Antu, saya dah sebut tadi bahawa Arahan Pentadbiran telah pun kita keluarkan sebagai satu daripada penambahbaikan. Untuk makluman Yang Berhormat, Pelaksanaan Tugas Medan yang lazimnya dirujuk sebagai kawad tambahan adalah tertakluk kepada perenggan 32, Perintah Tetap Ketua Polis Negara yang memperincikan tatacara pelaksanaan, tanggungjawab pegawai penyelia, mekanisme pemantauan, penyeliaan serta aspek kebajikan, keselamatan dan kesihatan anggota.

Untuk makluman, Tugas Medan bukanlah satu bentuk hukuman fizikal yang bertujuan mendatangkan mudarat kepada anggota, sebaliknya ia merupakan satu mekanisme pembentukan disiplin dan sahsiah dan perubahan sikap bagi menangani kesalahan-kesalahan ringan serta memupuk pematuhan kepada nilai patriotisme, profesionalisme yang menjadi teras kepada perkhidmatan Polis Diraja Malaysia.

Dan dalam melaksanakan Tugas Medan ini, pegawai penyelia Yang Berhormat, bertanggungjawab memastikan pelaksanaan dibuat secara berhemah, terkawal, selamat dengan mengambil kira keadaan fizikal, kesihatan anggota, keadaan persekitaran serta faktor-faktor lain yang boleh menjejaskan keselamatan anggota.

Dan pelaksanaan tersebut juga, ia tertakluk kepada pemantauan yang berterusan bagi memastikan objektif pembentukan disiplin ini benar-benar tercapai Yang Berhormat, tanpa mengabaikan aspek-aspek kebajikan dan keselamatan anggota. Dan PDRM, kita sentiasa menilai dan menambah baik segala tatacara- tatacara dan memang kita ada SOP yang khusus mengenai pelaksanaan hukuman ini.

Berhubung persoalan mengapa Tugas Medan lazimnya dikenakan kepada pegawai bawahan saja, perlu dijelaskan bahawa perintah 32, Perintah Tetap Ketua Pilis Negara ini, ia memperuntukkan bentuk tindakan tersebut khusus kepada pegawai rendah polis sebagai alternatif kepada tindakan tatatertib bagi kesalahan ringan. Bagi pegawai kanan polis pula, tindakan disiplin adalah tertakluk kepada peruntukan undang-undang dan peraturan tatatertib yang berkuat kuasa mengikut kategori perkhidmatan serta bidang kuasa pihak berkuasa tatatertib berkenaan.

Maknanya ada kepada golongan berkenaan tapi dalam kaedah yang lain.

Bagaimanapun Yang Berhormat, perbezaan bentuk tindakan disiplin tersebut tidak bermaksud wujud layanan berbeza berdasarkan pangkat. Ia tidak wujud sama sekali. Prinsip yang diguna pakai adalah sama iaitu setiap pegawai dan anggota yang dipertanggungjawab secara adil, saksama berdasarkan merit kes serta peruntukan undang-undang yang berkuasa. Mana-mana pegawai atau anggota yang melakukan salah laku akan dikenakan tindakan yang bersesuaian mengikut tahap kesalahan, bidang kuasa pihak berkuasa tatatertib tanpa mengira pangkat dan juga jawatan.

Justeru, KDN akan terus memastikan Pelaksanaan Tugas Medan sebagai satu mekanisme pembentukan disiplin yang dilaksana secara profesional, berhemah, selamat selaras dengan prinsip adil, tadbir urus yang baik dan pelaksanaan kebajikan dan keselamatan seluruh anggota tanpa mengira siapa.

Terima kasih.

draft • 11:10 AM

Tuan Yang di-Pertua

Ya, sila Pendang.

draft • 11:10 AM

Datuk Haji Awang bin Hashim - Pendang

Terima kasih Tan Sri Yang di- Pertua. Terima kasih Yang Berhormat Timbalan Menteri. Soalan saya ini kita merujuk kepada satu kajian yang menilai pengaruh latihan terhadap salah laku dalam kalangan anggota penguat kuasa, penyalahgunaan kuasa oleh jurulatih dan amalan yang tidak selamat semasa latihan didapati mempunyai hubung kait yang kuat dengan budaya negatif dalam agensi-agensi penguatkuasaan. Budaya dan persekitaran latihan toksik yang membenarkan toleransi terhadap salah laku dan pengecualian daripada akauntabiliti didapati cenderung melahirkan anggota penguat kuasa yang korup dan tidak beretika di lapangan.

Dapatan kajian ini menafikan tanggapan bahawa amalan raging dalam kalangan penguat kuasa bertujuan menyemai daya tahan, disiplin dan semangat berpasukan. Sebaliknya, ia hanyalah satu bentuk amalan buli yang menyemai sifat toksik dan menggalakkan salah laku dalam kalangan anggota keselamatan termasuk polis. Akhirnya, apa yang berlaku adalah orang awam yang sepatutnya berasa selamat dengan kehadiran anggota polis, sebaliknya berasa terancam disebabkan wujudnya defisit kepercayaan.

Soalan saya, oleh yang demikian, minta Menteri menyatakan apakah langkah konkrit seperti pemasangan CCTV di padang kawad atau kehadiran pegawai pemantau bebas yang dilaksanakan bagi memastikan hukuman kawad tambahan ini tidak bertukar menjadi platform raging atau penyalahgunaan kuasa oleh pegawai atasan atau menunjukkan ia mempunyai kuasa, ego dan juga sifat balas dendam?

Jadi, sekian terima kasih.

draft • 11:10 AM

Tuan Yang di-Pertua

Baik.

draft • 11:10 AM

Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar bin Haji Nasarah

Terima kasih Yang Berhormat Tan Sri, sahabat saya Pendang. Apa juga tindakan yang dilaksanakan oleh PDRM, kita melaksanakan, berasaskan SOP dan peraturan-peraturan yang sedia ada, penambahbaikan sentiasa dilakukan.

Dan kita juga melaksanakannya tertakluk kepada peraturan dan undang- undang yang sedia ada. Apa yang dicadangkan oleh Yang Berhormat itu, banyaknya langkah-langkah yang telah pun kita ambil.

Untuk makluman Yang Berhormat, sebenarnya berkaitan dengan isu kawad tambahan ini, kita ada tatacara pelaksanaan, tatatertib di bawah perenggan 32, Perintah Tetap Ketua Polis Negara. Kita ada SOP, aliran proses-proses yang dilakukan yang mesti dipatuhi untuk pelaksanaan hukuman tersebut.

Misalnya, anggota yang melakukan kesalahan kecil di bawah perenggan 32 ini, penyelia atau Sarjan ke atas, menyediakan Borang A. Sediakan borang dahulu, penjelasan tentang salah tatatertib, untuk mendapatkan penjelasan daripada anggota dahulu. Kemudian, penyelia dia kemukakan pula kepada Ketua Polis Daerah untuk pertimbangan. OCPD akan buat keputusan sama ada tindakan tatatertib dikenakan serta menentukan bentuk hukuman.

Ia juga dilaksanakan mengikut SOP yang telah ditetapkan. Pihak OCPD tidak boleh melaksanakan apa jua— tindakan atas budi bicaranya sendiri tapi mesti berasakan kepada peraturan dan undang-undang sedia ada.

Malah, Yang Berhormat sekalian, kita di KDN dan juga PDRM, kita memang melaksanakan pelbagai perkara— kita ada KPI integriti dan tatatertib. Kita ada sistem kawalan disiplin dan radar. Kita ada program-program pemerkasaan, Peraturan 3C dan banyaklah. Semua dilaksanakan, malah apa yang dibuat ini sebenarnya Yang Berhormat, memastikan ia dilaksanakan sesuai dengan Pelan Antirasuah Nasional PDRM 2030-2034 dan banyaklah perkara-perkara lain.

Tapi, yang penting saya nak sebut di sini, apa juga tindakan yang dilaksanakan oleh KDN dan PDRM ia berlandaskan kepada peraturan dan undang- undang sedia ada. Pegawai-pegawai yang melanggar peraturan juga akan dikenakan tindakan. Terima kasih.

draft • 11:20 AM

Tuan Yang di-Pertua

Baik, seterusnya saya jemput Kapten Azahari bin Hasan, Padang Rengas.

draft • 11:20 AM

Kapten Azahari bin Hasan - Padang Rengas

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Terima kasih, Tan Sri Yang di- Pertua, soalan saya nombor 4.

draft • 11:20 AM

4. Kapten Azahari bin Hasan [Padang Rengas] minta Menteri Kerja Raya menyatakan status terkini projek menaik taraf jalan-jalan persekutuan di kawasan Parlimen Padang Rengas serta langkah-langkah yang diambil bagi mengurangkan kadar kemalangan jalan raya di laluan berisiko tinggi termasuk menambah lampu- lampu jalan di kawasan yang gelap serta persimpangan jalan.

draft • 11:20 AM

Tuan Yang di-Pertua

Silakan, Menteri.

draft • 11:20 AM

Timbalan Menteri Kerja Raya - Datuk Seri Dr. Haji Ahmad bin Haji Maslan

Sebelum saya menjawab Tan Sri, saya ingin memaklumkan kehadiran beberapa orang pegawai Majlis Agama Islam Daerah Pontian dan pelajar asnaf Kolej Tingkatan Enam, pelajar asnaf SMK Tan Sri Osman Sa’at, Pontian yang hadir sekarang ini.

[Tepuk] Soalannya adalah mengenai lampu jalan, Tan Sri. Kementerian mengambil berat akan isu keselamatan jalan raya khususnya melibatkan Jalan Persekutuan di seluruh negara. Kementerian ini melalui program menaik taraf infrastruktur keselamatan jalan raya ada melaksanakan skop pemasangan lampu jalan di kawasan berlaku kemalangan atau berisiko kemalangan akibat jalan gelap.

Bagi kawasan kerap kemalangan atau berisiko kemalangan seperti persimpangan selekoh dan jambatan serta kawasan mempunyai rekod kemalangan yang dikenal pasti, pemasangan lampu jalan akan dibuat secara setempat, berskala tertentu dan memenuhi keperluan pencahayaan.

Berdasarkan rekod sebanyak 75 lokasi terpilih dengan kos berjumlah RM7.85 juta telah dilaksanakan pemasangan lampu jalan di bawah program ini untuk Jalan Persekutuan di negeri Perak pada tahun 2023 hingga 2025.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak tiga lokasi di kawasan Parlimen Padang Rengas di laluan Persekutuan FT.076 Jalan Kuala Kangsar-Gerik, Pangkalan Hulu Daerah Kuala Kangsar telah siap pemasangan 29 batang lampu jalan solar LED di bawah program ini dengan kos RM300 ribu.

Berdasarkan senarai keutamaan lokasi yang dikemukakan oleh Jabatan Kerja Raya pada tahun 2026, sebanyak tiga lokasi lagi di kawasan Parlimen Padang Rengas sedang dilaksanakan kerja pemasangan lampu jalan. Anggaran sebanyak 22 unit dengan kos RM230 ribu. Arahan kerja telah dikeluarkan kepada Cawangan Senggara Fasiliti Jalan Ibu Pejabat JKR Malaysia dan kerja-kerja fizikal akan disiapkan dalam tahun ini juga.

Selain daripada pemasangan lampu jalan, kementerian ini turut menyediakan kemudahan fasiliti keselamatan jalan raya yang mematuhi spesifikasi seperti garisan jalan, papan tanda jalan yang sesuai serta perabot jalan seperti road studs dan delineator posts di kawasan yang dikenal pasti berisiko berlaku kemalangan bagi meningkatkan tahap keselamatan pengguna jalan raya.

Fasiliti keselamatan ini berfungsi untuk mengenal pasti geometri jalan, sempadan lorong serta halangan di hadapan melalui pantulan cahaya lampu kenderaan. Sekali gus, memastikan tahap kebolehlihatan (visibility) yang optimum walaupun tanpa pencahayaan lampu jalan.

Pemantauan di lokasi-lokasi yang berisiko berlaku kemalangan akan terus dilaksanakan pada setiap masa oleh kementerian dan JKR. Terima kasih.

draft • 11:20 AM

Tuan Yang di-Pertua

Baik, saya jemput Padang Rengas.

draft • 11:20 AM

Kapten Azahari bin Hasan - Padang Rengas

Terima kasih Tan Sri. Terima kasih Timbalan Menteri di atas jawapan. Soalan tambahan saya, memandangkan ramai pengguna jalan raya terdiri daripada penduduk kampung dan pelajar sekolah, apakah langkah khusus kementerian untuk meningkatkan keselamatan di kawasan sekolah, masjid dan penempatan yang terletak di sepanjang Jalan Persekutuan?

Dan adakah boleh Menteri memberi jaminan bahawa semua aduan yang dikemukakan oleh wakil rakyat dan pihak berkuasa tempatan berkaitan lampu jalan, kerosakan jalan dan persimpangan berbahaya di beri keutamaan berdasarkan tahap risiko, bukan semata-mata kekangan peruntukan? Sekian, terima kasih.

draft • 11:20 AM

Tuan Yang di-Pertua

Baik, Menteri.

draft • 11:20 AM

Datuk Seri Dr. Haji Ahmad bin Haji Maslan

Tan Sri, di hadapan sekolah, di hadapan masjid, kita ada apa yang kita panggil sebagai lampu isyarat separas jalan.

Ada garisan kuning, lepas itu ada lampu, untuk pelajar-pelajar dan mereka yang menggunakan masjid, surau untuk melintas jika kawasan itu kita dapati kawasan kemalangan.

Sekali lagi, saya ingin menyebut di sini untuk sekian kali bahawa kemalangan ini, 80.6 peratus akibat cuai dan lalai, termasuk 20 peratus kerana letih ataupun berlaku microsleep, 13.2 peratus keadaan jalan. Itu tanggungjawab kami JKR, 13.2 peratus dan 6.2 peratus keadaan kenderaan dari segi brek dan sebagainya. Ini adalah laporan daripada MIROS, Institut Penyelidikan dan Keselamatan Jalan Raya Malaysia.

Oleh itu, saya kira penting untuk rakyat di luar sana mengetahui jalan, sama ada terang atau tidak, kalau mereka membawa kenderaan secara cuai, kalau mereka terlalu letih semuanya itu adalah menjadi punca, bukan hanya akibat jalan itu gelap ataupun kerana ada simpang dan sebagainya. Terima kasih.

draft • 11:20 AM

Tuan Yang di-Pertua

Baik, saya jemput Tebrau.

draft • 11:20 AM

Tuan Jimmy Puah Wee Tse - Tebrau

Terima kasih, Tan Sri Speaker. Yang Berhormat Timbalan Menteri pun orang Johor, tentulah faham sekarang banyak jalan terutamanya di Bandar Johor Bahru kita overload dengan kereta, banyak jalan raya yang sesak, khususnya saya nak memberi perhatian kepada Menteri, jalan FT03, Pandan ke Kota Tinggi, khususnya dari Pandan ke Ulu Tiram, betul-betul arteri utama Parlimen Tebrau yang begitu sesak, begitu banyak aduan daripada rakyat, hampir tiap-tiap hari, tiap-tiap jam sesak.

Maka apakah sebenarnya rancangan kerajaan untuk menyelesaikan masalah ini? Malah, saya sudah banyak kali Tan Sri Speaker, di Dewan ini sudah membawakan isu ini. Bukan satu kali, dua kali, tiga kali. Sampai saya tulis juga kepada Menteri tapi sehingga hari ini macam belum ada apa-apa feedback daripada pihak kementerian sebab isu ini isu rakyat Menteri, ini isu yang sangat penting, di mana rakyat memang harap isu-isu sesak jalan ini boleh diselesaikan khususnya di FT.03 di kawasan Tebrau daripada Pandan ke Ulu Tiram. Terima kasih.

draft • 11:20 AM

Tuan Yang di-Pertua

Yang Berhormat, saya dengar dua perkataan agak berbeza. Sesat kah, sesak?

draft • 11:20 AM

Tuan Jimmy Puah Wee Tse - Tebrau

Sesak.

draft • 11:20 AM

Tuan Yang di-Pertua

Sesak, oh, okey, sesak. Saya ingat sesat. Silakan Yang Berhormat.

draft • 11:20 AM

Datuk Seri Dr. Haji Ahmad bin Haji Maslan

Tan Sri, Malaysia ini ada banyak Menteri Besar tapi Menteri Besar yang selalu kerap datang ke Kementerian Kerja Raya ialah Menteri Besar Johor. Beberapa kali beliau datang untuk membangkitkan perkara-perkara dan itu antara sebab kenapa kita menang 48 daripada 56. Saya timbalan beliau Tan Sri, sebagai Timbalan Pengerusi Perhubungan.

Dekat Tebrau, Johor Bahru overload dengan kereta Pandan, Kota Tinggi, Ulu Tiram sesak. Kita sentiasa mengambil berat tentang perkara ini.

draft • 11:20 AM

Datuk Seri Dr. Haji Ahmad bin Haji Maslan

Tentunya kerajaan negeri mempunyai perancangan yang teliti melalui UPEN – Unit Perancangan Ekonomi Negeri, di situ diatur segala-galanya. Dan daripada itu kita sedang melaksanakan banyak perkara-perkara yang melibatkan penyuraian trafik di Johor Bahru. Separuh daripada penduduk Johor ini duduk di kawasan Johor Bahru. Itu di antara punca kesesakan selain daripada ketibaan kenderaan daripada Singapura. Kita ambil perhatian berat tentang apa yang disebut oleh Tebrau. Terima kasih.

draft • 11:30 AM

Tuan Yang di-Pertua

Baik. Seterusnya saya menjemput Dato’ Adnan bin Abu Hassan, Kuala Pilah.

draft • 11:30 AM

Dato’ Haji Adnan bin Haji Abu Hassan - Kuala Pilah

Terima kasih Yang Berhormat Tan Sri Dr. Speaker. Soalan Kuala Pilah di nombor 5.

draft • 11:30 AM

Tuan Yang di-Pertua

Silakan Menteri.

draft • 11:30 AM

5. Dato' Haji Adnan bin Haji Abu Hassan [Kuala Pilah] minta Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menyatakan hala tuju kementerian dalam memastikan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di bawah kementerian sentiasa selaras dengan keperluan industri masa hadapan, termasuk bidang berkaitan teknologi digital, kecerdasan buatan (AI), ekonomi hijau dan pekerjaan berkemahiran tinggi.

draft • 11:30 AM

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah - Datuk Hajah Rubiah binti Wang

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih Tan Sri Yang di-Pertua. Terima kasih YB Kuala Pilah atas soalan kepada KKW.

Tan Sri Yang di-Pertua, hala tuju TVET KKW berpaksikan sepenuhnya kepada Dasar TVET Negara 2030 serta anjakan paradigma TVET 2.0 yang memberikan penekanan strategik kepada pembangunan bakat dalam bidang berteknologi tinggi dan berimpak tinggi, pengukuhan ekosistem TVET berteraskan industri dan peningkatan kualiti graduan TVET yang memenuhi keperluan ekonomi masa hadapan.

[Timbalan Yang di-Pertua (Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor) **mempengerusikan Mesyuarat****] Justeru itu, TVET KKW sentiasa bersedia mendepani cabaran pasaran ekonomi moden yang mana pembangunan kurikulum institusi TVET KKW sentiasa disemak secara dinamik agar penawaran program dijajarkan secara langsung kepada sektor pertumbuhan tinggi dan nilai tinggi ataupun high-growth, high-value seperti sektor teknologi digital, peralihan tenaga, elektrik dan elektronik bernilai tinggi serta pertanian moden.

Institusi TVET KKW terus memperkasakan pelatih dalam penguasaan teknologi termaju selaras dengan agenda pendigitalan global seperti kecerdasan buatan (AI), Internet of Things (IoT), pengkomputeran awan (cloud computing), keselamatan siber, automasi robotik dan sistem pengilangan pintar bagi mengoptimumkan sumber kepakaran dan memaksimumkan keberkesanan latihan.

Institusi TVET KKW melaksanakan bidang pengkhususan khususnya secara bersasar antaranya TVETMARA Petaling Jaya memfokuskan kepada IoT, TVET MARA Besut kepada pengkomputeran awan manakala TVETMARA Pasir Mas diterajui sebagai pusat Building Information Modelling (BIM). German–Malaysian Institute memberi fokus khusus kepada pemindahan teknologi industri Jerman dengan penekanan kepada pembuatan termaju berteraskan Revolusi Industri 4.0.

Dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) di peringkat pendidikan tinggi menjadi peneraju utama high TVET menerusi program seperti Bachelor of Artificial Intelligence Technology yang mendapat pengiktirafan pensijilan profesional daripada gergasi teknologi dunia iaitu IBM.

Dalam usaha menyokong agenda ekonomi hijau dan hala tuju peralihan tenaga negara, institusi TVET KKW termasuk Institusi Kemahiran Tinggi PERDA

(PERDA-TECH) dan Kolej KEDA telah mengorak langkah ke hadapan dengan menawarkan latihan berimpak tinggi dalam bidang teknologi automatif kenderaan elektrik (EV) serta bioteknologi pertanian untuk belia luar bandar.

Selain daripada itu, keberkesanan latihan turut diperkukuhkan melalui pelaksanaan konsep teaching factory melalui pendekatan work-based learning dengan pembelajaran TVET KKW. Melalui kaedah ini para pelatih didedahkan secara langsung kepada ekosistem operasi kilang sebenar serta perkakasan berteknologi tinggi masa kini.

Selain daripada itu, komitmen berterusan KKW dalam memartabatkan kualiti TVET terbukti membuahkan kejayaan yang amat membanggakan melalui pencapaian kadar kebolehpasaran graduan yang amat tinggi. Secara keseluruhannya, kadar kebolehpasaran graduan TVET KKW mencapai 98.7 peratus dengan institusi TVET di bawah MARA mencatat rekod luar biasa iaitu 99.5 peratus.

Dato’ Yang di-Pertua, di peringkat kerangka TVET 2.0 juga, KKW akan memfokuskan pembangunan modal insan secara lebih proaktif dengan terus memperkasakan program TVET Tahfiz. Inisiatif ini adalah demi melahirkan generasi huffaz yang bukan sahaja mampan dari sudut sahsiah dan jiwa, malah melengkapi dengan kemahiran teknikal digital dan teknologi tinggi agar mereka mampu berdaya saing dalam pasaran kerja global.

Pelaksanaan TVET 2.0 bakal diperkukuhkan menerusi transformasi akreditasi melalui pengiktirafan terus daripada pemain industri utama. Pendekatan strategik ini penting bagi memastikan standard kompetensi pembelajaran TVET sentiasa berpaksikan keperluan sebenar pasaran kerja semasa sekali gus melonjakkan kadar kebolehpasaran graduan serta menangani isu ketidakpadanan.

Hala tuju bersepadu TVET KKW adalah jelas untuk melahirkan graduan TVET yang bukan sahaja kalis masa depan, menguasai teknologi tinggi dan diiktiraf oleh industri, malah kompeten sebagai teknousahawan serta pencipta pekerjaan yang mampu memajukan ekonomi luar bandar demi kemakmuran negara. Terima kasih Dato’ Yang di-Pertua.

draft • 11:30 AM

Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor

Silakan Yang Berhormat Kuala Pilah, soalan tambahan.

draft • 11:30 AM

Dato’ Haji Adnan bin Haji Abu Hassan - Kuala Pilah

Terima kasih Yang Berhormat Timbalan Dato’ Dr. Speaker. Soalan tambahan saya. Yang Berhormat Timbalan Menteri baru ini diumumkan kementerian telah mengumumkan pendekatan TVET 2.0, dengan izin. Jadi soalan saya ringkas sahaja. Apakah perubahan yang paling signifikan sebenarnya bagi institusi TVET@KKDW ini di bawah pendekatan baharu TVET 2.0 berbanding pelaksanaan TVET sebelum ini? Terima kasih.

draft • 11:30 AM

Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor

Silakan Menteri KKDW untuk menjawab.

draft • 11:30 AM

Datuk Hajah Rubiah binti Wang

Terima kasih Yang di-Pertua. Perubahan paling utama TVET 2.0 di bawah KKW ialah TVET beralih daripada memberi tumpuan kepada penyediaan tenaga kerja semata-mata kepada pembangunan bakat yang memenuhi keperluan industri masa hadapan. Ini bermakna pelajar bukan sahaja menguasai kemahiran teknikal, malah didedahkan dengan teknologi baharu seperti kecerdasan buatan, automasi pendigitalan dan teknologi hijau di samping dipupuk dengan nilai profesionalis serta semangat keusahawanan.

Bagi KKW pendekatan ini diterjemahkan dengan memperkukuhkan penawaran program dalam bidang TVET aras tinggi yang mempunyai permintaan tinggi. Di dalam rangka kerja TVET KKW misalnya robot humanoid menjadi platform praktikal kepada pelatih dan tenaga pengajar TVET dalam pembangunan aplikasi AI, penyelidikan robotik dan juga automasi serta pendidikan interaksi manusia dan robot.

TVET 2.0 juga memberi penekanan kepada pengajaran dan pembelajaran yang lebih dekat dengan dunia pekerjaan. Melalui pendekatan seperti teaching factory pelajar didedahkan kepada persekitaran kerja sebenar menggunakan teknologi dan peralatan industri serta dibimbing oleh pengamal industri.

Sebagai contoh, kerjasama UniKL Malaysia France Institute dengan FASSI Asia Pacific Sdn. Bhd. di Nilai, Negeri Sembilan dalam industri pembuatan kren, teknologi kimpalan dan pemeriksaan kualiti melibatkan kolaborasi luar kampus, off- campus, pelatih TVET dengan pihak industri.

draft • 11:30 AM

Tuan Haji Abdul Latiff bin Abdul Rahman - Kuala Krai

[Bangun]

draft • 11:30 AM

Datuk Hajah Rubiah binti Wang

Selain daripada itu juga TVET 2.0 di bawah KKW juga menekankan penempatan pelatih TVET di syarikat teknologi multinasional bagi memperkukuhkan kemahiran teknikal, profesionalisme dan daya saing global.

draft • 11:30 AM

Tuan Haji Kamal bin Ashaari - Kuala Krau

[Bangun]

draft • 11:30 AM

Datuk Hajah Rubiah binti Wang

Contohnya institusi TVET MARA telah menjalinkan kerjasama dengan syarikat gergasi Korea Selatan, Samsung SDI Energy Malaysia dengan melaksanakan program pembangunan bakat dan penempatan kerja untuk industri pembuatan bateri kenderaan elektrik (EV) dengan pakej gaji minimum, gaji premium di Samsung sekurang-kurangnya RM3,700 sebulan.

Pendekatan sebegini memastikan graduan lebih bersedia memasuki pasaran kerja, mengurangkan jurang antara latihan di institusi dengan keperluan majikan sekali gus meningkatkan lagi kebolehpasaran graduan TVET di bawah KKW yang kini mencapai 98.7 peratus. Terima kasih Dato’ Yang di-Pertua.

draft • 11:30 AM

Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato' Mohd Nor

Terima kasih Yang Berhormat Menteri. Persilakan Yang Berhormat Kuala Krai.

draft • 11:40 AM

Tuan Haji Abdul Latiff bin Abdul Rahman - Kuala Krai

Terima kasih Dato’ Yang di-Pertua. Yang Berhormat Timbalan Menteri tadi sebut bahawa KKDW telah juga melaksanakan Program TVET Tahfiz, mungkin dalam bentuk kursus jangka pendek juga jangka panjang termasuk kepada pelajar madrasah dan pondok.

Soalan saya ialah apakah usaha pihak kementerian dalam membuat engagement dan juga kolaborasi dengan pusat-pusat tahfiz swasta, madrasah dan pondok agar lebih ramai pelajar mereka menyertai program TVET, khususnya di bawah KKDW?

Dan, bolehkah Yang Berhormat berikan kepada Kuala Krai jumlah terkini pelajar pusat tahfiz swasta ataupun yang bukan milik kerajaan, madrasah dan pondok yang telah menyertai program TVET di bawah KKDW dan berapa peratus daripada mereka yang berjaya melepasi tempoh kursus yang ditetapkan dan memperoleh pensijilan kemahiran seperti Sijil Kemahiran Malaysia ataupun SKM, mungkin diploma dan juga diploma lanjutan dan memasuki alam pekerjaan yang turut menyumbang kepada agenda pembangunan modal insan dalam negara? Terima kasih Dato’ Yang di-Pertua.

draft • 11:40 AM

Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato' Mohd Nor

Silakan Menteri untuk menjawab.

draft • 11:40 AM

Datuk Hajah Rubiah binti Wang

Terima kasih YB Kuala Krai ya atas soalan tambahan tadi berkaitan dengan hala tuju TVET Tahfiz di bawah KKDW.

Untuk makluman Yang Berhormat, KKDW dalam fasa untuk meningkatkan lagi penyertaan pusat-pusat tahfiz dalam— penyertaan dalam TVET-TVET Tahfiz bersama dengan institusi-institusi tahfiz TVET KKDW. Dan untuk makluman Yang Berhormat, hari ini saya tak ada figure Yang Berhormat. Mungkin saya akan boleh bagi jawapan yang bertulis.

Engagement bukan sahaja kita bagi— maksudnya, galakan bukan sahaja— penyertaan bukan sahaja kepada tahfiz kerajaan, malah juga kita kepada tahfiz- tahfiz swasta. Cuma pada masa ini, saya tak ada figure, tak ada statistik ataupun lokasi Yang Berhormat. Insya-Allah, kita bagi maklumat ini secara bertulis berkenaan.

Namun secara tidak langsung, saya ingin maklumkan bahawa Program TVET Tahfiz KKDW telah pun memberi ruang dan peluang yang banyak kepada pelajar- pelajar tahfiz dalam memastikan peluang kerjaya pada masa depan di samping pembentukan sahsiah yang lebih baik.

Sesi libat urus— pada masa ini, sesi libat urus KKDW telah usahakan bersama dengan JAKIM. Tahun 2025, lebih 1,200 peserta tahfiz telah mendapat latihan kemahiran. Ini saya dapat— baru dapat ini 1,200 telah mendapat latihan.

Tahun 2026, kerjasama untuk lahirkan tekno-usahawan tahfiz di bawah GIATMARA telah dilaksanakan.

Maksudnya, di bawah GIATMARA di setiap Parlimen pun kita buat engagement bersama dengan pelajar-pelajar tahfiz bagi memastikan ilmu dan kemahiran ini diterapkan secara menyeluruh kepada sesiapa sahaja yang berminat untuk memastikan tenaga kerja mahir dapat dilahirkan dengan lebih konsisten.

Yang Berhormat, untuk jawapan yang lebih detail, saya— insya-Allah, saya akan jawab secara bertulis. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.

draft • 11:40 AM

Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato' Mohd Nor

Terima kasih Yang Berhormat Menteri. Selanjutnya, Majlis dengan ini menjemput Dato' Haji Abdul Khalib bin Abdullah, Yang Berhormat Rompin.

draft • 11:40 AM

Dato' Haji Abdul Khalib bin Abdullah - Rompin

Terima kasih Dato’ Yang di-Pertua. Soalan saya nombor 6.

draft • 11:40 AM

6. Dato' Haji Abdul Khalib bin Abdullah [Rompin] minta Menteri Kesihatan menyatakan langkah intervensi kerajaan menangani peningkatan kos perubatan swasta yang mendadak serta pelan memperkasakan skim perlindungan kesihatan nasional untuk golongan B40 dan M40.

draft • 11:40 AM

Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato' Mohd Nor

Dipersilakan Menteri Kesihatan untuk menjawab.

draft • 11:40 AM

Menteri Kesihatan - Datuk Seri Haji Dr. Dzulkefly bin Ahmad

Terima kasih Dato’ Yang di-Pertua. Terima kasih Yang Berhormat Rompin. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam sejahtera, salam Malaysia MADANI.

Dato’ Yang di-Pertua, Dewan ini telah menyaksikan dalam beberapa pusingan perbahasan Ahli-ahli Yang Berhormat yang terkait dengan peningkatan kos perubatan dan kesihatan di sektor swasta dan pada tahun 2024, Januari hingga Jun, kita menyaksikan 340,000 pemegang polisi insurans menyerahkan polisi mereka justeru kerana tidak lagi mampu memiliki insurans-insurans tersebut. Yang kalau kita ambil datanya kurang lebih kos inflasi di sektor swasta adalah kurang lebih 15— maaf, ya 15 peratus berbanding nasional ataupun purata inflasi negara adalah kurang lebih dua ataupun lebih-lebih pun 2.5 peratus.

Dato’ Yang di-Pertua, langkah-langkah yang telah saya ambil daripada awal lagi sehinggakan kalau saya rangkumkan seluruhnya, hari ini pendekatannya ialah pendekatan whole of government dengan seluruh kerajaan yang kita telah menubuhkan sebuah Jawatankuasa Bersama Peringkat Menteri untuk kita tangani Kos Penjagaan Kesihatan Swasta (JBMKKS) bagi menerajui satu inisiatif RESET ya, satu pendekatan strategik RESET yang berfungsi sebagai kerangka strategik dan komprehensif merupakan serampang banyak mata (multi-pronged approach) yang menangani inflasi perubatan di sektor swasta Dato’ Yang di-Pertua.

Antara lainnya, memperkenalkan Pelan Insurans Takaful Perubatan dan Kesihatan yang baharu, yang kita jenamakan sebagai Pelan MediAsas, Dato’ Yang di-Pertua. MediAsas akan diluncurkan di peringkat nasional pada tahun hadapan.

Tahun hadapan Januari 2027 dengan kadar premium yang berpatutan dan mampu milik.

Dan pelan ini akan mula mengintegrasikan antara lainnya, ya pelan ini saya sebutkan juga ia bukan sahaja satu pendekatan insurans tetapi ada tiga lagi aspek yang mana ia akan merangkumkan integrasi pendekatan yang dikatakan sebagai DRG ataupun lebih mudah lagi kelompok berkaitan diagnosis satu sistem pembayaran, remuneration yang secara— kita akan laksanakan secara berfasa.

Ringkasnya, pendekatan yang akan menekankan aspek— kalau dulu, lebih banyak prosedur dan ujian-ujian, maka lebih banyak bayarannya Dato’ Yang di- Pertua. Sekarang ini kita fokus kepada rawatan yang tepat, kos yang munasabah dengan hasil outcome yang lebih baik. Itu DRG sebagai ringkasan kepada satu yang akan dapat menangani antara lainnya, insurans ataupun kos perkhidmatan kesihatan ini.

Ketiganya adalah inisiatif bersifat yang sifatnya sifat melengkapi yakni usaha untuk kita membangunkan, menubuhkan yang dikatakan sebagai a national EMR ataupun rekod perubatan elektronik interoperable seluruhnya facility dan insya-Allah, bukan sahaja awam tetapi juga akan integrasi kepada pihak swasta juga. Yang antara lainnya juga apa tujuannya, mengurangkan duplikasi ujian. Contohnya, imbasan perubatan imaging dan sebagainya, dengan penstrukturan semula bil hospital, hospital-hospital swasta ini Dato’ Yang di-Pertua.

Dan akhir sekali, memperkenalkan ataupun— sudah pun kita memperkenalkan penerbitan julat harga kos perkhidmatan kesihatan swasta dan kita melakukan tahun— tahun ini Dato’ Yang di-Pertua, Januari tahun lalu. Tahun ini maaf, tahun 2026 untuk memulihkan rakyat mengetahui berapa julat harga perkhidmatan antara hospital-hospital swasta ini. Yang dengan itu, mereka dengan izin, membuat inform decision.

Adapun aspek kedua daripada persoalan Dato’ Yang di-Pertua, tentang bagaimana kita memperkasakan Skim Perlindungan Kesihatan kepada kelompok golongan B40 dan M40, lower or middle. Perlu saya sebutkan secara ringkasnya Dato’ Yang di-Pertua, kita telah Pelan MediAsas itu sebenarnya bukannya pengganti tetapi pelengkap kepada sistem penjagaan kesihatan awam yang akan terus menyediakan apa yang dikatakan sebagai perlindungan kesihatan sejagat ataupun UHC dengan izin, Universal Health Coverage untuk semua rakyat Malaysia yang telah pun dibiayai melalui sumber cukai yang sedia ada di Malaysia. Dengan kata lain, ini adalah the core services, perkhidmatan asas dalam facility— facility awam.

Bagi memperluaskan liputan kesihatan sejagat ini, UHC ini, kerajaan telah— antara lain memperkenalkan tiga program. Satu adalah Skim Peduli Kesihatan, PeKa B40. Pada penggal pertama lagi, saya telah memperkenalkan ini semasa saya memimpin KKM, yang memberi tumpuan kepada saringan kesihatan. Skim ini ditambah baik untuk merangkumi pengurusan penyakit, cabaran-cabaran hari ini NCD Dato’ Yang di-Pertua.

Kedua, adalah Skim Perubatan MADANI bagi meningkatkan akses kepada klinik pengamal perubatan swasta bagi penyakit-penyakit acute ya, dalam golongan- golongan B40 juga. Dan akhir sekali Dato’ Yang di-Pertua, lebih tepat tentang hal perlindungan insurans ini, Skim Perlindungan MySalam Dato’ Yang di-Pertua, yang mana pesakit dibayar RM8,000 sekali seumur hidup apabila disahkan menghidap salah satu daripada penyakit-penyakit kritikal yang telah pun ditentukan.

Dato’ Yang di-Pertua, itu sikit tentang perkara yang nak saya sebutkan bagaimana langkah-langkah kita untuk menjaga peningkatan ataupun kos perubatan kesihatan di sektor swasta dan juga perlindungan yang kita berikan khususnya kepada golongan B40 ataupun lower M40 Dato’ Yang di-Pertua. Terima kasih. Terima kasih Dato’ Yang di-Pertua.

draft • 11:40 AM

Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor

Terima kasih Menteri. Silakan Yang Berhormat Rompin, soalan tambahan anda.

draft • 11:50 AM

Dato' Haji Abdul Khalib bin Abdullah - Rompin

Terima kasih Dato’ Yang di-Pertua dan terima kasih Yang Berhormat Menteri. Memandangkan kerajaan baru- baru ini memperkenalkan kerangka Regulatory Enhancement for Sustainable and Efficient Insurance and Takaful atau RESET serta produk insurans perubatan asas seperti Pelan MHIT Asas, MediAsas.

draft • 11:50 AM

Tuan Haji Azli bin Yusof - Shah Alam

[Bangun]

draft • 11:50 AM

Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie bin Apdal - Semporna

[Bangun]

draft • 11:50 AM

Dato' Haji Abdul Khalib bin Abdullah - Rompin

Soalan saya, sejauh manakah dasar baharu ini mampu menjamin bahawa tiada golongan M40 dan B40 yang dipinggirkan daripada perlindungan atas faktor had umur, risk selection, pemilihan risiko atau sejarah penyakit sedia ada (pre-exisiting condition)?

Dan keduanya, ini soalan saja jauh lari, tersasar Yang Berhormat Menteri.

Baru-baru ini, berlaku mogok oleh pekerja pembersihan di Hospital Rompin akibat tidak dibayar gaji dan tidak dicarum dalam KWSP. Soalan saya, apakah jaminan kementerian agar perkara ini tidak berulang pada masa-masa akan datang? Bayar gaji, ikut tempoh yang ditetapkan oleh JTK demi kebajikan pekerja. Terima kasih Yang Berhormat Menteri. Terima kasih.

draft • 11:50 AM

Datuk Seri Haji Dr. Dzulkefly bin Ahmad

Terima kasih sahabat saya Rompin, yang sangat baik...

draft • 11:50 AM

Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor

Silakan Menteri.

draft • 11:50 AM

Datuk Seri Haji Dr. Dzulkefly bin Ahmad

Ya. Persoalan tambahannya.

Maaf Tuan Yang di-Pertua. Ya, yang terkait dengan persoalan kedua itu...

draft • 11:50 AM

Tuan Mohd Kurniawan Naim bin Moktar - Kinabatangan

[Bangun]

draft • 11:50 AM

Datuk Seri Haji Dr. Dzulkefly bin Ahmad

Pastinya saya mahu perhatikan, ya. Mana-mana pun konsesi syarikat-syarikat yang mengambil perkhidmatan ya dengan kami, saya mahu pastikan mereka memberikan hak-hak pekerja mereka dan kita tahu bahawa hak pekerja ini adalah sangat penting, Dato’ Yang di-Pertua.

Mereka tidak akan dapat memberikan perkhidmatan mereka, andainya mereka sendiri, ia dibela dan dilindungi.

Ada pun kembali kepada persoalan yang pertama tadi, soalan tambahan itu, Dato’ Yang di-Pertua, persoalan itu adalah terkait dengan— apa tadi? Ya, sejauh mana, ya— kita jawab soalan nombor dua dan nombor satu, lupa Dato’ Yang di- Pertua.

draft • 11:50 AM

Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor

Yang Berhormat boleh ulang, kan?

draft • 11:50 AM

Datuk Seri Haji Dr. Dzulkefly bin Ahmad

Ya, sila. Yang Berhormat, bantu saya.

draft • 11:50 AM

Dato' Haji Abdul Khalib bin Abdullah - Rompin

[Bercakap tanpa menggunakan pembesar suara] Ini mungkin Yang Berhormat Menteri terkeliru bila saya sebut RESET ini.

draft • 11:50 AM

Datuk Seri Haji Dr. Dzulkefly bin Ahmad

Ah, tak, tak keliru. Insya-Allah. Sila, sila.

draft • 11:50 AM

Dato' Haji Abdul Khalib bin Abdullah - Rompin

[Ketawa] Memandangkan kerajaan baru ini memperkenalkan kerangka Regulatory Enhancement for Sustainable and Efficient Insurance and Takaful (RESET) serta produk insurans perubatan asas seperti Pelan MHIT seperti yang disebut oleh Menteri tadi, MediAsas.

Soalan saya ialah sejauh manakah dasar baharu ini mampu menjamin bahawa tiada golongan M40 dan B40...

draft • 11:50 AM

Datuk Seri Haji Dr. Dzulkefly bin Ahmad

Baik.

draft • 11:50 AM

Dato' Haji Abdul Khalib bin Abdullah - Rompin

Yang dipinggirkan daripada perlindungan atas faktor had umur, risk selection pemilihan risiko atau sejarah penyakit sedia ada (preexisting condition)?

draft • 11:50 AM

Datuk Seri Haji Dr. Dzulkefly bin Ahmad

Baik.

draft • 11:50 AM

Dato' Haji Abdul Khalib bin Abdullah - Rompin

Tapi soalan nombor 2 yang lebih penting Yang Berhormat Menteri.

draft • 11:50 AM

Datuk Seri Haji Dr. Dzulkefly bin Ahmad

Baik. Sebab itu saya jawab soalan nombor 2 hinggakan cicir saya, perkara butiran dalam soalan pertama tadi.

Soalan pertama tadi, Dato’ Yang di-Pertua, akan bakal kita butirkan secara lebih terperinci akan apa yang diistilahkan sebagai product knowledge ya, butiran-butiran yang terkait dengan MediAsas, perlindungan MediAsas ini kerana ia telah pun sebenarnya secara tuntas, secara menyeluruh dan secara lebih terperinci, kami tangani sama ada dari sudut, yang dari sudut, harganya, premiumnya, undertaking- nya dan coverage— coverage-nya dan pricing-nya.

Jadi, kesemua hal yang terkait dengan faktor umur, apakah di sana boleh kita ambil precondition, precondition yang terkait dengan— kadang-kali juga termasuk hal mental. Mental illnesses juga ya.

Kali ini, Dato Yang di-Pertua, MediAsas ini saya berani menyebutkan sebagai satu— satu keberanian kerajaan dalam gandingan MOF, MOH dan Bank Negara dan juga ITOs ya menangani hal yang agak unprecedented dari sudut memberikan layanan dan dari sudut memberikan perkhidmatan yang dulunya produk-produk yang lain saya kira, boleh saya sebutkan sebagai tidak berani menerokai hal-hal yang terkait dengan isu-isu mental, isu-isu mental challenges, mental illnesses dan juga hal-hal yang terkait dengan NCDs yang kalau ada yang precondition ataupun apa yang dikatakan sebagai penyakit-penyakit yang terdahulu juga kami address selama ia nya tidak— dapat kita stabilise, under control. Dan semua ini dirangkumkan dalam, dalam pengetahuan, dalam pelancaran yang kita buat hari ini setelah pun program rintis, Dato’ Yang di-Pertua, program rintis yang telah berlaku di Lembah Klang ini ada enam ITOs dan enam hospital telah menjalani apa yang dikatakan sebagai pilot project untuk kita dapati, untuk kita dapatkan ya maklum balas yang lebih, lebih baik on the ground, on the ground.

Jadi, semua perkara itu adalah sangat mustahak, cumanya nak saya sebutkan adapun ya, MediAsas ini bukanlah tersasar ataupun— maaf. Bukanlah menyasarkan golongan B40 tetapi memberikan izin yang mampu dimiliki oleh golongan M40, lower middle, middle mungkin juga upper-middle dan seterusnya kerana B40 kita tidak menyasarkan golongan ini kerana B40 kita masih lagi akan melindungi mereka dengan perkhidmatan asas UHC, perkhidmatan kesihatan sejagat dalam fasiliti-fasiliti kami di seluruh negara dengan 154 hospital kami, dengan 3,000 lebih klinik-klinik kesihatan di seluruh negara.

Maka, B40 dan juga yang rentas golongan yang lain diberikan perkhidmatan core businesses asas-asas perkhidmatan dalam fasiliti-fasiliti kami. Adapun, MediAsas ini adalah untuk menangani apa yang dikatakan sebagai cabaran produk- produk ITOs medical and health insurance, takaful itu di peringkat, di pihak swasta.

Ya, jadi jangan silap begitu. Sebab sasarannya adalah golongan M40 ke atas, tetapi B40 tetap kami lindungi dalam perkhidmatan-perkhidmatan fasiliti asas termasuk MySalam yang merupakan bukan produk kami, adalah produk MOF ya.

Jadi, dengan PeKa B40, sejak saya masuk dengan pengarah pertama dan juga dengan SPM. Dato’ Yang di-Pertua, itu sedikit sebanyak yang dapat saya butirkan.

Insya-Allah, kita akan dapat mendengar dengan lebih jelas lagi butiran- butiran ini apabila kita membuat pelancarannya nanti. Terima kasih Dato’ Yang di- Pertua.

draft • 11:50 AM

Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor

Terima kasih Yang Berhormat. Dipersilakan Yang Berhormat Shah Alam.

draft • 11:50 AM

Tuan Haji Azli bin Yusof - Shah Alam

Terima kasih Yang di-Pertua.

Pertamanya, saya ingin ambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih banyak-banyak kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dan tahniah kepada Menteri Kesihatan kerana selama ini KKM terpaksa melalui birokrasi yang panjang untuk urusan perjawatan.

Kini bermula 9 Julai, KKM diberi autonomi mengurus sendiri perjawatan ini.

Hasilnya, 4,500 doktor kontrak ditawarkan jawatan tetap tahun ini.

[Tepuk] Lebih 18,500 doktor telah dilantik jawatan tetap sejak 2023 dan pengisian doktor di hospital dapat dibuat dengan lebih pantas. Doktor yang berpindah kini dijamin menerima elaun perpindahan mengikut kelayakan, tidak lagi menanggung kos sendiri seperti dahulu. Jadi, ini satu reformasi yang sebenar. Kerajaan MADANI bukan sekadar berslogan tetapi benar-benar bercakap tentang perubahan dan melaksanakannya satu demi satu.

Soalan tambahan saya, Dato’ Yang di-Pertua, balik kepada soalan asal tadi.

Berapakah julat harga premium medical asas dan berapa banyak syarikat insurans takaful yang terlibat dan adakah melibatkan semua hospital swasta? Terima kasih.

draft • 11:50 AM

Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor

Silakan Menteri.

draft • 11:50 AM

Datuk Seri Haji Dr. Dzulkefly bin Ahmad

Terima kasih Dato’ Yang di- Pertua. Terima kasih Shah Alam. Panjang intro-nya, rupanya nak ke situ juga soalannya. Apa pun Dato’ Yang di-Pertua, soalan yang dibangkit— perkara yang dibangkitkan, butiran yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Shah Alam sebentar tadi saya telah jawab dalam Kamar Khas semalam jawapan kepada Yang Berhormat Sibu hal yang terkait dengan human resource ataupun sumber manusia yang telah pun dijelaskan. Dan hari ini, akhbar mengangkat isu itu dengan lebih baik dan dengan liputan yang lebih luas Dato’ Yang di-Pertua.

Terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dan juga sahabat saya daripada MK II dan JPA, KSN dan KPPA yang memberikan izin kami mempunyai punca kuasa untuk menentukan agihan ya. Apa yang boleh kita tangani sebagai mal-distribusi maldistribution tentang pekerja-pekerja ataupun kakitangan- kakitangan Kementerian Kesihatan di seluruh peringkat Dato’ Yang di-Pertua.

Baik. Jawapan kepada, kepada soalan Shah Alam ya. Panjang sangat saya jawab tadi. Okey, soalannya adalah— apa ya?

[Berselawat]

draft • 11:50 AM

Seorang Ahli

[Berucap tanpa menggunakan pembesar suara] Julat.

draft • 11:50 AM

Datuk Seri Haji Dr. Dzulkefly bin Ahmad

Julat. Saya nak cari apa istilah yang— range ataupun julat ya. Julat yang disebutkan itu tadi bersekali dengan soalan Rompin ya. Sebenarnya kami belum mahu untuk menerangkan dengan lebih terperinci sebab kami sedang menjalankan program rintis, pilot ini dan dengan itu kita akan sikit memodifikasikan andainya perlu ya.

Sebab itu, program rintis ataupun proof of concept, proof of value, itu adalah sangat mustahak Dato’ Yang di-Pertua dan rintis ini adalah sangat penting. Tetapi kalau boleh saya sebutkan, ia akan secara prinsip, ia akan menjadi satu yang mampu milik Dato’ Yang di-Pertua. Tidaklah— itu, itu cabarannya. Sebab itu, atas perkara itu, sebab itu kita memperkenalkan program asas kami kerajaan, gandingan MOF, KKM, Kementerian Kewangan dan juga Bank Negara dan juga kawan-kawan di luar sana ITOs, all industry players.

draft • 11:50 AM

Datuk Seri Haji Dr. Dzulkefly bin Ahmad

Jadi, kurang lebih, kalau boleh saya sebutkan, julatnya itu adalah RM65 sehinggakan ke parasnya, tergantung kepada apakah jenis produk dia. Tetapi, untuk waktu ini, Dato’ Yang di-Pertua, kami meluncurkan program MediAsas dahulu, Dato’ Yang di-Pertua, yang paling asas yang akan membuat coverage yang kita tahu jumlahnya dan kita tahu apakah precondition, syarat-syaratnya dan pricing-nya dan juga undertakings-nya dan juga siapa yang inclusion, exclusion criteria semua itulah kami telah tentukan.

Tetapi, ia menjalani program rintis ini dan, insya-Allah, pada waktu yang sesuainya kita akan membuat pelancaran yang lebih tepat lagi, lebih jitu segala apa yang dimaksudkan dengan premium dan sebagainya. Itu akan kami jawab dalam waktu yang terdekat selepas program rintis ini kita jalankan, Dato’ Yang di-Pertua.

Terima kasih, Shah Alam. Sabar menanti. Insya-Allah, kita akan terangkan dengan lebih terperinci.

draft • 12:00 PM

Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor

Terima kasih, Yang Berhormat Menteri.

draft • 12:00 PM

Datuk Seri Haji Dr. Dzulkefly bin Ahmad

Terima kasih.

draft • 12:00 PM

Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor

Majlis ke soalan tujuh. Walau bagaimanapun, Yang Berhormat Penampang ada urusan yang tidak dapat hadir ke Dewan.

draft • 12:00 PM

[Soalan No. 7 – YB. Datuk Ewon Benedick (Penampang) tidak hadir]

Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor

Saya terus ke soalan yang kelapan. Di sini dipersilakan Tuan Syed Saddiq bin Syed Abdul Rahman, Yang Berhormat Muar.

draft • 12:00 PM

Tuan Syed Saddiq bin Syed Abdul Rahman - Muar

Terima kasih, Tuan Pengerusi. Soalan saya soalan nombor 8.

draft • 12:00 PM

8. Tuan Syed Saddiq bin Syed Abdul Rahman [Muar] minta Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan menyatakan langkah membendung kenaikan harga rumah serta pembinaan yang tidak terkawal jumlahnya berbanding dengan permintaan dari penduduk setempat:

(a) langkah sewajarnya diambil bagi projek terbengkalai; dan

(b) menentukan harga siling bagi rumah berdasarkan kriteria yang ditetapkan sebagai penanda aras kebangsaan.

draft • 12:00 PM

Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor

Dipersilakan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk menjawab.

draft • 12:00 PM

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan - Datuk Hajah Aiman Athirah binti Sabu

*Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh.

[Membaca selawat] Anak muda gagah perkasa; Memegang janji setia; Ujian datang menduga rasa; Muar tabah terus berjasa.* Tahniah atas kejayaan keputusan mahkamah semalam.

Tuan Yang di-Pertua, Kerajaan MADANI sentiasa komited memastikan pembangunan sektor perumahan negara dilaksanakan secara lebih terancang, mampan dan responsif kepada keperluan sebenar rakyat. Dalam usaha membendung kenaikan harga rumah serta menggalakkan ketidaksepadanan antara penawaran dan permintaan yang boleh mengakibatkan lambakan unit tidak terjual, kerajaan telah pun memberi penekanan kepada perancangan perumahan berasaskan data, pengukuhan tadbir urus industri serta pelaksanaan dasar yang mengambil kira kemampuan rakyat dan realiti semasa di bawah pasaran semasa di bawah.

Sehubungan dengan itu, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan memperkukuhkan pendekatan evidence based planning melalui penggunaan data daripada Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) dan juga Malaysia Urban Observatory (MUO) serta data-data penawaran dan permohonan rumah daripada pelbagai agensi.

Pendekatan ini membolehkan pembangunan perumahan dirancang berdasarkan keperluan sebenar penduduk mengikut negeri dan juga lokaliti, sekali gus membantu kerajaan dan juga kerajaan negeri menentukan jenis lokasi serta jumlah rumah yang perlu dibangunkan agar lebih selaras dengan permintaan pasaran dan kemampuan isi rumah.

Pendekatan ini juga turut diperkukuhkan melalui Majlis Perumahan Mampu Milik Negara yang dipengerusikan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri yang juga berperanan menyelaras dasar perumahan mampu milik di peringkat Persekutuan dan negeri, memantau pelaksanaan inisiatif serta menyelesaikan isu- isu strategik berkaitan penyediaan rumah mampu milik.

Penyelarasan ini membantu memastikan pembangunan rumah mampu milik dilaksanakan secara lebih terancang dan responsif terhadap keperluan setempat, kemampuan isi rumah serta pun keadaan pasaran sekali gus mengurangkan ketidaksepadanan antara penawaran dan permintaan.

Untuk makluman Tuan Yang di-Pertua dan Ahli Yang Berhormat, melalui peruntukan di bawah seksyen 11(1)(ca) Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 [Akta 118], Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan boleh mengesahkan sesuatu projek perumahan itu sebagai terbengkalai apabila projek tersebut gagal disiapkan dalam tempoh yang telah pun ditetapkan di bawah perjanjian jual beli dan tiada sebarang aktiviti pembinaan yang ketara di tapak selama enam bulan secara berterusan.

Melalui Jabatan Perumahan Negara, kita telah pun mengenal pasti beberapa langkah-langkah proaktif untuk menangani isu-isu projek perumahan sakit dan terbengkalai. Di antaranya Tuan Yang di-Pertua, adalah pertama, kita mewujudkan satu Task Force Projek Perumahan Swasta Lewat, Sakit dan Terbengkalai sejak Disember 2022 untuk kita memantau projek-projek yang dimaksudkan. Ini dipengerusikan sendiri oleh saya, Tuan Yang di-Pertua. Sehingga kini, 1,615 projek perumahan melibatkan 190,422 unit rumah dengan nilai GDV sebanyak RM150.86 bilion telah pun berjaya dipulihkan dari tempoh Disember sehinggalah Mei 2026.

Yang keduanya, kementerian juga bertindak sebagai mediator untuk mencari hala tuju bagi penyelesaian pembeli ataupun penyiapan projek oleh pemaju asal, sama ada oleh pemaju asal ataupun pemaju penyelamat ataupun pelikuidasi, sehingga mendapat CFO ataupun CCC.

Yang ketiganya, kita menyenarai hitam pemaju-pemaju perumahan dan ahli lembaga pengarah syarikat yang terlibat dalam projek sakit dan terbengkalai di mana pemaju dan ahli lembaga pengarah tersebut akan disekat daripada memohon lesen pemajuan yang baharu dan akaun pemajuan perumahan (HDA) mereka yang sedia ada juga turut dibekukan.

Keempatnya, mengadakan libat urus bersama dengan kerajaan negeri, lembaga perumahan hartanah negeri, pihak berkuasa tempatan, agensi kerajaan, agensi teknikal dan agensi penyedia utiliti dan juga pemaju untuk kita mengenal pasti permasalahan serta mencari jalan penyelesaian bersama untuk kita menangani isu- isu projek sakit, lewat dan terbengkalai di pelbagai peringkat.

Kelimanya, kita mengadakan taklimat berjadual kepada pemaju untuk mereka memahami tanggungjawab dan kewajipan mereka berasaskan kepada Akta 118.

Keenam, menggalakkan penggunaan teknologi baharu, termasuklah IBS, dan bahan-bahan binaan alternatif untuk mempercepatkan penyiapan projek perumahan dengan kos yang lebih murah tetapi tanpa menjejaskan kualiti.

Dan yang ketujuh, menyediakan pindaan― kita sedang dalam proses meneliti semula Akta 115 untuk kita melihat mekanisme dan kaedah terbaik bagi melindungi kepentingan pembeli dan yang terlibat, khususnya dalam projek-projek sakit dan juga terbengkalai.

Yang kelapannya, kita memperkenalkan Sistem Bank Data Perumahan Negara, ataupun TEDUH, sebagai portal rujukan kepada semua pihak termasuklah bakal pembeli-pembeli dan juga institusi pembiaya agar mereka dapat maklumat yang lebih jelas berkaitan sama ada dengan pemaju ataupun status pemajuan projek-projek yang telah pun dibangunkan.

Tuan Yang di-Pertua, bagi menjawab soalan yang kedua berkaitan dengan harga rumah, Tuan Yang di-Pertua, kerajaan mengambil maklum bahawa kos pembinaan dan harga bahan binaan telah pun meningkat dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Walau bagaimanapun, penetapan harga rumah mampu milik tidak boleh kita buat berdasarkan kos pembinaan semata-mata, sebaliknya perlu mengambil kira keseimbangan antara kemampuan rakyat untuk memiliki rumah dengan kemampanan pembangunan oleh pihak pemaju.

Untuk itu, kementerian telah pun melaksanakan pemetaan harga rumah mampu milik menggunakan data pendapatan median isi rumah mengikut negeri dan daerah berdasarkan Survei Pendapatan Isi Rumah dan Kemudahan Asas 2024 yang telah pun diterbitkan oleh DOSM. Pemetaan ini menggunakan kaedah median multiple bagi menentukan julat harga rumah yang benar-benar mampu dimiliki mengikut kemampuan penduduk di sesuatu lokasi supaya ia lebih sesuai dengan permintaan di peringkat bawah.

Pada masa ini, Tuan Yang di-Pertua, kita juga sedang memuktamadkan Dasar Perumahan Negara 2026-2035 yang, antara lainnya, kita teliti pendekatan penetapan harga rumah mampu milik yang lebih dinamik berasaskan kepada data tempatan.

Tuan Yang di-Pertua, terima kasih.

draft • 12:00 PM

Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor

Yang Berhormat Muar, soalan tambahan. Silakan.

draft • 12:00 PM

Tuan Syed Saddiq bin Syed Abdul Rahman - Muar

Terima kasih. Terima kasih, Yang Berhormat Timbalan Menteri. Malaysia tiada masalah rumah atau kekurangan rumah, tetapi rumah mampu milik yang berdekatan dengan pengangkutan awam dan akses kepada pekerjaan yang berkualiti.

Persoalan saya. Buat masa ini, kerajaan mengikut jumlah rumah mampu milik itu berdasarkan kepada kadar gaji seseorang itu. Kadangkala kerajaan meletakkan bawah RM300,000 itu diambil kira sebagai rumah mampu milik. Tetapi, realiti pada hari ini berbeza kerana rumah mampu milik itu, walaupun disediakan, kadangkala kosong. Ada kos renovasi, kos penyelenggaraan, kos-kos tambahan yang perlu diambil kira sekali.

Persoalan saya. Adakah kerajaan pada hari ini mengambil kira juga― contohnya, bagi anak muda, apabila seseorang itu memiliki rumah, kos renovasi yang makin lama makin meningkat, kos penyelenggaraan yang makin lama makin meningkat. Apabila seseorang anak muda, keluarga muda masuk ke rumah tersebut dengan cukai-cukai tambahan yang dikenakan kepada sektor servis yang akhirnya menyebabkan anak muda itu perlu menampung kos puluhan ribu tambahan selepas mendapat, contoh, pembiayaan daripada bank untuk membeli rumah dalam kadar RM250,000. Adakah kerajaan mengambil kira peningkatan kos renovasi? Kerana kenaikan kos sara hidup dan barang-barang dan services bagi renovasi itu meningkat. Terima kasih.

draft • 12:00 PM

Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor

Silakan Menteri untuk menjawab.

draft • 12:00 PM

Datuk Hajah Aiman Athirah binti Sabu

Tuan Yang di-Pertua, saya hargai keprihatinan Ahli Yang Berhormat. Seperti mana yang saya sebutkan tadi berkaitan dengan penetapan harga rumah ini, Tuan Yang di-Pertua, kementerian sentiasa mengambil maklum bahawa terdapat pelbagai pendekatan, termasuklah yang saya sebutkan tadi median multiple, yang kita kata bahawa penawaran harga rumah itu adalah berdasarkan kepada sekitar tiga kali ganda pendapatan kasar tahunan setiap isi rumah median.

draft • 12:00 PM

Datuk Hajah Aiman Athirah binti Sabu

Tapi dalam konteks ini juga Tuan Yang di-Pertua, kerajaan berpandangan bahawa kemampuan memiliki rumah tidak wajar kita ukur hanya berdasarkan satu harga nasional semata-mata. Dan pada masa yang sama, kita juga mengambil maklum bahawa terdapat beberapa cabaran yang dihadapi oleh belia. Pada saya, yang disebutkan oleh Yang Berhormat Muar tadi bukan sahaja oleh pihak belia lah tetapi semua peringkat usia bahawa penyelenggaraan memang dihadapi masalah.

Dan kita tahu bahawa peningkatan penawaran rumah itu juga adalah salah satu cabaran. Akses kepada pembiayaan yang lebih inklusif juga telah kita bantu melalui SJKP Tuan Yang di-Pertua, sehinggakan pinjaman perumahan itu kita benarkan jaminan kerajaan sehingga 120 peratus. Maknanya, kalau harga rumah itu RM100 Tuan Yang di-Pertua, 20 peratus itu adalah untuk renovasi dan yang lain- lain.

Dan kita pun juga sentiasa meneliti dari semasa ke semasa, bagaimana untuk membantu belia ini. Tetapi sepertimana juga yang kita sentiasa tekankan bahawa ini memerlukan pendekatan keseluruhan kerajaan untuk membantu belia kita sama ada di peringkat Kerajaan Persekutuan, di peringkat kerajaan negeri dan juga pemain- pemain pemajuan swasta, insya-Allah. Dan insya-Allah, ini diberikan perhatian, Ahli Yang Berhormat. Kita akan terus meneliti supaya para belia kita ada keupayaan memiliki rumah pertama dan pada masa yang sama, meneruskan kelangsungan hidup berkeluarga. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.

draft • 12:10 PM

Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor

Terima kasih Yang Berhormat Menteri. Silakan Yang Berhormat Maran.

draft • 12:10 PM

Dato’ Sri Dr. Haji Ismail bin Abd Muttalib - Maran

Terima kasih Dato’ Yang di-Pertua. Saya nak berpantun sikit.

*Buka peti dipenuhi wap, Pengat dimakan bersama santan, Kenapa Menteri tidak menjawab, Saya ingat dia dah letak jawatan.

[Tepuk]* Dato’ Yang di-Pertua, soalan tambahan saya. Persidangan Hartanah ASEAN ataupun AREC 2026 akan diadakan Julai–Ogos ini di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa (MITEC) Kuala Lumpur. Acara ini akan menawarkan diskaun pembelian rumah sebanyak 10 peratus.

Soalan saya, apakah jenis rumah dan harga rumah yang ditawarkan diskaun 10 peratus ini? Dan apakah mekanisme yang digunakan dalam pemotongan 10 peratus ini merupakan potongan sebenar daripada harga jualan asal dan bukan berdasarkan harga yang telah dinaikkan serta saya ingin tahu berapakah jumlah projek perumahan yang terlibat dengan tawaran ini? Terima kasih.

draft • 12:10 PM

Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor

Sebelum Menteri menjawab, Yang Berhormat, 10— Peraturan 36(10)(c) tu ya, sakit ke sakit hati di antara satu yang lain, Yang Berhormat. Saya faham apa Yang Berhormat niatkan tu. Tapi kalau saya di sebelah sini sebagai Menteri Perumahan pun, saya akan terasa. Kadang terfikir balik nak tahan soalan Yang Berhormat tu, bagi pada sebelah sini.

[Merujuk kepada blok kerajaan] Saya prihatin, tapi janganlah. Kita manusia. Sebelah sini [Merujuk kepada blok kerajaan] pun manusia, sebelah sini [Merujuk kepada blok kerajaan] pun manusia.

draft • 12:10 PM

Dato’ Sri Dr. Haji Ismail bin Abd Muttalib - Maran

[Ketawa] Dato’ Yang di- Pertua, minta maaf. Saya ingat kita boleh joke— joke sikit-sikit. Terima kasih banyak.

draft • 12:10 PM

Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor

Baik.

Kalau Yang Berhormat dah minta maaf tu, saya sejuk sikitlah. Jadi, kesedaran tu ada. Jadi Yang Berhormat yang lain tu, sindir menyindir tu, kan satu benda yang tak sesuailah ya. Ini pandangan saya. Kita wakil rakyat, kita wakil rakyat, mereka yang di atas tu yang melihat. Ya, baik. Yang Berhormat Menteri, sila jawab.

draft • 12:10 PM

Datuk Hajah Aiman Athirah binti Sabu

Tuan Yang di-Pertua, Yang Berhormat Menteri saya sedang menjalankan tugas rasmi sebagai seorang Menteri.

Saya juga sedang menjalankan tugas rasmi sebagai Timbalan Menteri, membantu beliau. Itu saja. Tak perlulah kita ada rasa prasangka.

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat Maran, soalan yang ditanyakan tadi tentang diskaun yang diberikan. Saya ingin menjawab ringkas sahaja bahawa diskaun yang diberikan itu adalah merupakan inisiatif pemaju yang menyertai program tersebut. Itu saja Tuan Yang di-Pertua.

draft • 12:10 PM

Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor

Terima kasih Yang Berhormat Menteri. Majlis ke soalan yang terakhir bagi sesi jawapan lisan. Saya mempersilakan Puan Isnaraissah Munirah Majilis, Yang Berhormat Kota Belud. Silakan Puan Yang Berhormat.

draft • 12:10 PM

Puan Isnaraissah Munirah binti Majilis @ Fakharudy - Kota Belud

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Soalan saya nombor sembilan.

draft • 12:10 PM

Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor

Dipersilakan Menteri Kerja Raya untuk menjawab.

draft • 12:10 PM

9. Puan Isnaraissah Munirah binti Majilis @ Fakharudy [Kota Belud] minta

draft • 12:10 PM

Menteri Kerja Raya menyatakan

(a) justifikasi teknikal dan kewangan di sebalik lonjakan kos keseluruhan Projek LPB Sabah Fasa 1 yang kini mencecah RM24.889 bilion (Fasa 1A: RM10.9 bilion, Fasa 1B: RM13.989 bilion) berbanding anggaran awal tahun 2015 iaitu RM 12.86 bilion; dan

(b) jumlah keseluruhan bayaran pampasan tanah bagi Fasa 1

(pecahan Sabah dan Sarawak).

draft • 12:10 PM

Timbalan Menteri Kerja Raya - Datuk Seri Dr. Haji Ahmad bin Haji Maslan

Dato’ Yang di-Pertua, Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah adalah melibatkan jajaran sepanjang 706 kilometer dan pelaksanaannya telah dibahagikan kepada 35 pakej kerja dan secara dua fasa iaitu Fasa 1A dan Fasa 1B. Fasa 1A melibatkan 16 pakej kerja dengan kos keseluruhan RM10.9 bilion. Fasa 1B pula melibatkan 19 pakej kerja dengan kos keseluruhan RM13.989 bilion.

Berhubung dengan peningkatan kos keseluruhan Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1, daripada anggaran awal RM12.86 bilion pada tahun 2015 kepada RM24.889 bilion pada masa ini, Kementerian Kerja Raya ingin menjelaskan bahawa anggaran awal RM12.86 bilion pada tahun 2015 tersebut merupakan anggaran awal kos pembinaan pada waktu ia diluluskan dan dilaksanakan menggunakan model rakan pelaksana projek atau, dengan izin, project delivery partner (PDP).

Namun, selaras dengan arahan kerajaan pada tahun 2019 iaitu ketika kerajaan bertukar, agar pelaksanaan berdasarkan model PDP ini ditamatkan, projek ini telah beralih kepada kaedah kontraktor konvensional Persekutuan daripada PDP.

Peralihan ini perlu penilaian semula terhadap baki kerja dan skop kerja yang dilaksanakan. Peralihan kaedah ini turut melibatkan implikasi kewangan tertentu.

Dari sudut teknikal pula, kos projek ini antara lain disebabkan faktor-faktor berikut: perubahan skop dan reka bentuk; variation of work; struktur geotechnical dan rawatan tanah; kerja-kerja pengalihan utiliti berskala besar.

Selain faktor teknikal, peningkatan kos turut dipengaruhi oleh faktor berikut:

inflasi dan kenaikan harga bahan binaan; dan skop pakej Fasa 1B yang baharu.

Berhubung pengambilan balik tanah bagi Projek Lebuhraya Pan Borneo, kerajaan menanggung keseluruhan kos pampasan, kerugian dan kos pentadbiran bagi memastikan pemilik tanah tidak mengalami kerugian. Setakat ini, kerajaan telah membuat bayaran pampasan sebanyak RM1.2 bilion bagi Projek LPB Sabah Fasa 1 – Pan Borneo Sabah Fasa 1 dan RM737 juta bagi Pan Borneo Sarawak.

Jika dibandingkan harga, Sarawak Pan Borneo jaraknya 786 kilometer, RM20.3 bilion. Dengan lain perkataan, RM25.4 juta satu kilometer. Sementara di Sabah setelah ditamatkan PDP, 706 kilometer, kos RM25 bilion dan satu kilometer meningkat RM10 juta iaitu RM35.4 juta di banding RM25.4 juta di Sarawak. Terima kasih.

draft • 12:10 PM

Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor

Terima kasih Yang Berhormat Menteri. Dipersilakan Yang Berhormat Kota Belud, soalan tambahan anda.

draft • 12:10 PM

Puan Isnaraissah Munirah binti Majilis @ Fakharudy - Kota Belud

Tuan Yang di-Pertua, dari sudut jaminan peruntukan, LPB Sarawak telah menerima bon ataupun sukuk DanaInfra sejak Julai 2017, manakala Sabah tidak menerima dan YB Menteri telah pun jelaskan perkara ini di dalam Kamar Khas pada tahun 2024.

Soalan saya, sejauh manakah jaminan peruntukan dari bon sukuk kepada Sarawak ini menyumbang kepada kelancaran pelaksanaan Projek LPB Sarawak?

Seterusnya, saya mahu bertanya berkenaan tanah. Sewaktu perancangan awal jajaran oleh agensi teknikal negeri bagi menentukan jajaran LPB Sabah, adakah hanya satu sahaja jajaran yang dicadangkan atau ada jajaran lain yang dicadangkan? Dan mengapa jajaran ini yang melibatkan bayaran pampasan tanah yang dipilih? Dan soalan terakhir saya, Yang Berhormat Menteri. Daripada kesemua pakej LPB Sabah, berapakah jumlah EOT yang dimohon dan diluluskan disebabkan isu pertikaian tanah di peringkat negeri? Dan nyatakan jumlah VO yang diluluskan setakat ini bagi LPB Sabah Fasa 1A. Terima kasih.

draft • 12:10 PM

Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor

Silakan Menteri.

draft • 12:10 PM

Datuk Seri Dr. Haji Ahmad bin Haji Maslan

Dato’ Yang di-Pertua, kita memberi jaminan bahawa apa juga bentuk dana...

draft • 12:10 PM

Datuk Ir. Shahelmey bin Yahya - Putatan

[Bangun]

draft • 12:10 PM

Datuk Seri Dr. Haji Ahmad bin Haji Maslan

...komitmen kita untuk menyiapkan Pan Borneo Sabah Fasa 1A dan 1B ini akan diteruskan. Sama ada dari segi DanaInfra dan sebagainya, ia merupakan pinjaman kerana kita tahu bahawa Pan Borneo Sarawak sudah siap, Pan Borneo Sabah belum. Keseluruhan Pan Borneo Sabah itu, kemungkinan akan siap hanya pada tahun 2030.

draft • 12:10 PM

Datuk Seri Dr. Haji Ahmad bin Haji Maslan

Apabila ditamatkan Project Delivery Partner Agreement (PDPA) pada 22 September 2019, rentetan penamatan tersebut kerajaan telah membincangkan semula dengan Kementerian Ekonomi dan tidak ada sebarang pindahan jajaran, tidak ada mengubah jajaran kepada jajaran laluan baru setelah diadakan makmal pengurusan nilai atau pun value assessment lab.

draft • 12:20 PM

Datuk Ir. Shahelmey bin Yahya - Putatan

[Bangun]

draft • 12:20 PM

Datuk Dr. Ahmad Marzuk bin Shaary - Pengkalan Chepa

[Bangun]

draft • 12:20 PM

Datuk Seri Dr. Haji Ahmad bin Haji Maslan

Dan mengenai EOT ada di tangan saya ini, EOT senarai extension of time dan segala implikasi daripada EOT tersebut kita tidak menggalakkan EOT kecualilah atas sebab-sebab dua sebab utama yang dibolehkan iaitu kerana pengambilan balik tanah ataupun kerana pengalihan utiliti yang lewat.

Sekarang ini kita sudah ada mesyuarat setiap bulan yang dipengerusikan bersama Setiausaha Tetap di Sabah dan Ketua Setiausaha Kementerian, Kementerian Kerja Raya untuk memastikan segalanya berjalan dengan lancar.

Terima kasih.

draft • 12:20 PM

Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor

Terima kasih Menteri. Silakan Yang Berhormat Pengkalan Chepa.

draft • 12:20 PM

Datuk Dr. Ahmad Marzuk bin Shaary - Pengkalan Chepa

Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Yang Berhormat Timbalan Menteri, sebelum ini menyatakan bahawa LPT3 dilaksanakan secara penswastaan kerana masalah kekangan kewangan. Tetapi pada masa yang sama kita tahu, kita semua tahu bahawa Mutiara Line, Projek Mutiara Line ini dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan yang kosnya jauh lebih besar, RM16 bilion lebih sedangkan LPT3 itu tak sampai pun RM10 bilion.

Jadi soalan saya, adakah ini menunjukkan bahawa kekangan kewangan bukan faktor sebenar sebagaimana dinyatakan? Atau kerajaan mempunyai keutamaan pembiayaan yang berbeza mengikut wilayah ataupun ada pertimbangan lain? Dan adakah kerajaan bersedia untuk membentangkan kepada Dewan ini analisis kos faedah (cost-benefit analysis) dan economic internal rate of return terhadap sesuatu projek yang dibuat terutamanya perbandingan dibuat Mutiara Line dengan LPT3? Sekian, Speaker.

draft • 12:20 PM

Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor

Silakan Menteri.

draft • 12:20 PM

Datuk Seri Dr. Haji Ahmad bin Haji Maslan

Terima kasih Dato’ Yang di- Pertua. LPT3 ini kosnya lebih kurang RM9.8 bilion. Saya telah menjawab soalan ini pada minggu lepas di sini detail tentang LPT3. Dia berada di UKAS, Jabatan Perdana Menteri – Unit Kerja Awam Swasta dan keputusan masih lagi belum dimuktamadkan.

Dan sementara itu kita perlu melihat secara keseluruhan, ada lagi dua projek utama yang berada di Pantai Timur yang boleh digunakan oleh rakyat. Pertama ialah Kota Bharu, Lebuhraya Kota Bharu–Kuala Krai. Yang kedua bersambung Kuala Krai ke Gua Musang, bersambung Gua Musang ke Pahang. Jadi itu dipanggil Lingkaran Tengah Utama (LTU) yang tidak akan dikenakan tol, itu kepada penduduk di Pantai Timur.

Dan satu lagi di kawasan ECRL yang mana daripada Kota Bharu sampailah ke Selangor, kita ada ECRL. Jadi, penduduk Pantai Timur boleh melihat dua projek besar ini, projek ketika zaman Yang Amat Berhormat Pekan yang memulakan dan sekarang ini sedang berada dalam peringkat yang baik walaupun ada satu dua tapi kita dah tamatkan yang mana bermasalah untuk kita berikan kepada kontraktor baru dan telah pun diberikan.

Oleh itu, berhubung tentang Mutiara Line di Penang, itu keputusan yang dibuat. Mungkin antaranya adalah kerana kesesakan pulau tersebut jika dibanding dengan jajaran antara Kuala Terengganu ke Tunjong, Kota Bharu. Saya kira itu kenapa diberikan keutamaan Mutiara Line. Terima kasih.

draft • 12:20 PM

Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor

Terima kasih Yang Berhormat. Yang Berhormat sekarang tamatlah sesi untuk waktu pertanyaan-pertanyaan bagi jawapan lisan.

[Sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan bagi Jawab Lisan tamat]

draft • 12:20 PM

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) - Tuan M. Kulasegaran a/l V. Murugeson

Dato’ Yang di- Pertua, saya mengalu-alukan rombongan Rukun Tetangga Taman Cherry dari Ipoh yang diketuai oleh En. Lucas.

[Tepuk]

draft • 12:20 PM
USUL
WAKTU MESYUARAT DAN URUSAN DIBEBASKAN DARIPADA PERATURAN MESYUARAT

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) - Tuan M. Kulasegaran a/l V. Murugeson

Tuan Yang di- Pertua, “Mengikut Peraturan Mesyuarat 12(1), saya mohon mencadangkan bahawa mesyuarat pada hari ini tidak akan ditangguhkan sehingga selesai pembentangan Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) (No.2) 2026 dan Usul Penyata Jawatankuasa Pilihan Khas seperti di nombor 1 Aturan Urusan Mesyuarat dan usul-usul hari ini serta dibahas dan diputuskan Rang Undang-undang Perlindungan Saksi (Pindaan) 2026 dan Rang Undang-undang Profesion Kerja Sosial 2026 seperti di nombor 2 dan 3 dalam Aturan Urusan tersebut. Selepas itu, Majlis Mesyuarat akan ditangguhkan sehingga jam 10 pagi pada hari Rabu, 15 Julai 2026.”

draft • 12:24 PM

Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor

Yang Berhormat Menteri, ada sesiapa Yang Berhormat menyokong?

draft • 12:24 PM

Timbalan Menteri Ekonomi - Dato’ Indera Mohd Shahar bin Abdullah

Saya menyokong.

draft • 12:24 PM

Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor

Baik. Ahli- ahli Yang Berhormat, sekarang saya kemukakan masalah kepada Majlis untuk diputuskan. Masalahnya ialah usul seperti yang dikemukakan tadi hendaklah disetujukan.

draft • 12:24 PM

[Usul dikemukakan bagi diputuskan; dan disetujukan]

RANG UNDANG-UNDANG DIBAWA KE DALAM MESYUARAT
RANG UNDANG-UNDANG STATISTIK 2006 Bacaan Kali Yang Pertama

Rang undang-undang bernama suatu akta untuk mengadakan peruntukan bagi fungsi Jabatan Statistik Malaysia, penubuhan Majlis Statistik Negara dan perkara yang berkaitan dengan data dan statistik dan perkara yang berkaitan; dibawa ke dalam Mesyuarat oleh Menteri Ekonomi [Tuan Haji Akmal Nasrullah bin Mohd Nasir]; dibaca kali yang pertama; akan dibaca kali yang kedua pada 16 Julai 2026.

draft • 12:24 PM
RANG UNDANG-UNDANG
KUMPULAN WANG AMANAH NEGARA 2026 Bacaan Kali Yang Pertama

Rang undang-undang bernama suatu akta bagi menubuhkan Kumpulan Wang Amanah Negara untuk memperbadankan Kumpulan Wang Amanah Negara

(Diperbadankan) sebagai badan pentadbir Kumpulan Wang Amanah Negara untuk mengadakan peruntukan bagi pelaburan Kumpulan Wang Amanah Negara untuk memastikan rizab negara yang berkekalan bagi generasi Malaysia sekarang dan masa hadapan dan untuk mengadakan peruntukan bagi perkara yang berkaitan; dibawa ke dalam Mesyuarat oleh Timbalan Menteri Kewangan [Tuan Liew Chin Tong]; dibaca kali yang pertama; akan dibaca kali yang kedua pada Mesyuarat ini.

draft • 12:24 PM

Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor

Baik.

Silakan Yang Berhormat Menteri untuk mengemukakan usul merujuk kepada undang-undang ke Jawatankuasa Pilihan.

draft • 12:24 PM
USUL
MENYERAH RANG UNDANG-UNDANG KEPADA JAWATANKUASA DI BAWAH PERATURAN MESYUARAT 54(1)

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) - Dato’ Sri Azalina binti Othman Said

Tuan Yang di-Pertua, saya mohon mencadangkan; “Bahawa berdasarkan kepada Peraturan Mesyuarat 54(1) dan penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas di bawah Peraturan Mesyuarat 81(1), satu usul bagi menyerahkan Rang Undang-undang Kebebasan Maklumat 2026 kepada Jawatankuasa Pilihan yang dinamakan Jawatankuasa Pilihan Khas mengenai Rang Undang- undang Kebebasan Maklumat 2026.

Jawatankuasa Pilihan Khas ini akan meneliti rang undang-undang tersebut termasuk skop, struktur, cara penggubalan rang undang- undang berkenaan dan mencadangkan apa-apa pindaan yang difikirkan perlu berhubung perkara tersebut serta menyediakan satu penyata yang mengandungi pandangan serta membuat syor ke atas rang undang-undang tersebut dalam tempoh tiga bulan.

Jawatankuasa Pilihan Khas boleh sekiranya perlu melanjutkan tempoh tersebut. Jawatankuasa Pilihan Khas tersebut hendaklah terdiri daripada 12 Ahli Dewan Rakyat termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) sebagai pengerusi.

Bagi tujuan tersebut di atas, Jawatankuasa Pilihan Khas boleh menjemput mana-mana pihak seperti Ahli-ahli Parlimen, pakar-pakar perundangan, badan profesional, persatuan industri, badan bukan kerajaan, wakil masyarakat sivil dan mana-mana individu lain yang difikirkan sesuai untuk hadir dalam mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas dari masa ke semasa.” Terima kasih.

draft • 12:28 PM

Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor

Ada sesiapa menyokong Yang Berhormat Menteri?

draft • 12:28 PM

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) - Tuan M. Kulasegaran a/l V. Murugeson

Saya mohon menyokong.

draft • 12:28 PM

Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor

Ahli-ahli Yang Berhormat, sekarang saya kemukakan masalah kepada Majlis bagi diputuskan.

draft • 12:28 PM

Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor

Masalahnya ialah bahawa Usul seperti yang dikemukakan oleh Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu tadi hendaklah disetujukan. Ahli- ahli Yang Berhormat yang bersetuju katakan bersetuju yang tidak bersetuju katakan tidak, lebih suara yang bersetuju. Usul disetujukan.

draft • 12:30 PM

[Usul dikemukakan bagi diputuskan; dan disetujukan]

RANG UNDANG-UNDANG
RANG UNDANG-UNDANG PERLEMBAGAAN (PINDAAN) (NO.2) 2026 Bacaan Kali Yang Kedua dan Ketiga

Aturan Urusan Mesyuarat dibacakan bagi menyambung semula perbahasan yang ditangguhkan atas masalah, “Bahawa rang undang-undang ini dibacakan kali yang kedua sekarang.” [3 Mac 2026] DAN Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas mengenai Pindaan Perlembagaan berkaitan Pengasingan Peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya oleh

draft • 12:30 PM

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Dato’ Sri Azalina binti Othman Said akan mencadangkan

“BAHAWA Penyata yang disiapkan oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Pindaan Perlembagaan Berkaitan Pengasingan Peranan Peguam Negara Dan Pendakwa Raya, yang dibentangkan dalam Majlis ini sebagai Kertas DR 11 Tahun 2026, diperkenankan Peraturan Mesyuarat 60.”

draft • 12:30 PM

Timbalan Yang di-Pertua - Dato' Dr Ramli bin Dato' Mohd Nor

Ahli-ahli Yang Berhormat, Tan Sri Speaker telah menerima Usul daripada Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) dan membenarkan pindaan ini dikemukakan di bawah peraturan mesyuarat. Susulan daripada itu Kertas Pindaan dalam Jawatankuasa iaitu kertas yang berwarna kuning telah diedarkan kepada semua Ahli Yang Berhormat pada Isnin, 13 Julai 2026 yang lalu. Dipersilakan Yang Berhormat Menteri untuk membuat pembentangan.

draft • 12:30 PM

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) - Dato’ Sri Azalina binti Othman Said

Tuan Yang di-Pertua, assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Saya mohon untuk membentangkan Penyata Jawatankuasa Pilihan Khas mengenai Pindaan Perlembagaan berkaitan Pengasingan Peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya iaitu Kertas DR.11 Tahun 2026. Penyata ini merekodkan perjalanan isu-isu utama yang dibincangkan, penelitian dan syor jawatankuasa berhubung Rang Undang-undang Perlembagaan

(Pindaan) (No.2) 2026.

Tuan Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian. Pertama, izinkan saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua Ahli-ahli Yang Berhormat atas kehadiran dan perhatian pada hari ini bagi meneliti penyata terhadap satu rang undang-undang yang membawa kepentingan besar kepada sistem keadilan dan kedaulatan undang-undang negara kita. Sebelum saya membentangkan penyata serta butiran pindaan yang dicadangkan, izinkan saya mengimbas kembali secara ringkas latar belakang penyata serta undang-undang ini.

Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) (No.2) 2026 ini telah dibentangkan untuk bacaan kali yang pertama pada 23 Februari 2026. Tujuannya adalah untuk meminda Perlembagaan Persekutuan bagi melaksanakan pengasingan Peguam Negara dan Pendakwa Raya. Satu reformasi institusi yang telah lama dibincangkan dan disyorkan oleh pelbagai pihak termasuk badan profesional undang-undang, masyarakat sivil dan ahli akademik sejajar dengan prinsip kebebasan pendakwaan dan akauntabiliti institusi.

Sejak rang undang-undang ini dibentangkan di atas meja Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, pelbagai pandangan, cadangan dan maklum balas membina daripada Ahli-ahli Parlimen serta pihak-pihak berkepentingan telah diterima.

Mengambil kira kepentingan reformasi ini kepada sistem perundangan dan keadilan negara kerajaan berpandangan bahwa segala pandangan tersebut wajar diberi pertimbangan yang sewajarnya sebelum rang undang-undang ini dibawa semula ke Dewan.

Atas semangat keterbukaan dan penglibatan yang lebih menyeluruh, pada 3 Mac 2026 Dewan yang mulia telah meluluskan satu Usul di bawah Peraturan 54(2) dan Peraturan 81(1), Peraturan-peraturan Majlis Dewan Rakyat untuk merujuk rang undang-undang ini kepada satu Jawatankuasa Pilihan Khas. Tujuannya adalah supaya penelitian lanjut dapat dijalankan termasuk mendapatkan pandangan daripada pelbagai pihak berkepentingan sebelum cadangan pindaan akhir dibawa ke Dewan ini.

Tuan Yang di-Pertua, Jawatankuasa Pilihan Khas ini ditubuhkan dengan keahlian dwipartisan, yakin mencerminkan hasrat kerajaan bahawa reformasi institusi sepenting ini tidak diteliti oleh satu pihak sahaja sebaliknya oleh wakil rakyat dan dari pelbagai latar belakang fahaman politik. Jawatankuasa ini terdiri daripada 12 ahli yang saya sendiri menjadi Pengerusi bersama Ahli-ahli Yang Berhormat berikut iaitu:

(i) Yang Berhormat Parit Sulong;

(ii) Yang Berhormat Alor Gajah;

(iii) Yang Berhormat Tawau;

(iv) Yang Berhormat Selayang;

(v) Yang Berhormat Bangi;

(vi) Yang Berhormat Lubok Antu;

(vii) Yang Berhormat Bukit Gelugor;

(viii) Yang Berhormat Larut;

(ix) Yang Berhormat Kota Bharu;

(x) Yang Berhormat Beluran; dan

(xi) Yang Berhormat Muar.

Tuan Yang di-Pertua, saya ingin menegaskan bahawa keahlian ini secara sengaja merangkumi Ahli-ahli Parlimen daripada blok kerajaan dan pembangkang.

Ini bukan sekadar simbolik namun ia mencerminkan pendirian kerajaan bahawa reformasi sebegini perlu dipersetujui merentasi sempadan parti kerana institusi yang dibincangkan ini perlu berkhidmat kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengira siapa yang memerintah pada bila-bila masa. Sepanjang tempoh penelitian jawatankuasa telah bersidang sebanyak tujuh kali.

(i) mesyuarat pertama 16 Mac, menetapkan terma rujukan dan garis masa kerja jawatankuasa;

(ii) mesyuarat kedua, 9 April 2026 menerima laporan akhir Pasukan Petugas Khas Komparatif serta taklimat mengenai perundangan, saraan Peguam Negara dan Pendakwa Raya;

(iii) mesyuarat ketiga, 16 April 2026 mendengar maklum balas SUHAKAM, Badan Peguam Malaysia, Sabah Law Society, BERSIH dan beberapa pertubuhan sivil yang lain serta respons daripada Jabatan Peguam Negara;

(iv) mesyuarat keempat, 27 April 2026 meneliti isu penglibatan Parlimen dalam pelantikan Pendakwa Raya, mendapatkan pandangan Yang Berhormat Profesor Emeritus Datuk Dr. Shad Saleem Faruqi dan mula merangka syor awal jawatankuasa;

(v) mesyuarat kelima, 5 Mei 2026 membincangkan draf rang undang-undang berdasarkan syor yang dipersetujui;

(vi) mesyuarat yang keenam, 18 Mei 2026 memuktamadkan draf kerja rang undang-undang; dan

(vii) mesyuarat ketujuh, 16 Jun 2026, mesyuarat berlanjutan untuk memperhalusi pindaan akhir dan memuktamadkan penyata jawatankuasa di mana tempoh penyediaan turut dilanjutkan sehingga 19 Jun 2026 bagi membolehkan penelitian yang lebih menyeluruh.

Sepanjang proses ini jawatankuasa turut menjemput dan mendapatkan pandangan daripada pelbagai pihak, Jabatan peguam Negara, Bahagian Hal Ehwal Undang-undang Jabatan Perdana Menteri dan pelbagai kepentingan luar termasuk badan profesional, ahli akademik dan pertubuhan masyarakat sivil.

Tuan yang di-Pertua, saya juga ingin menekankan bahawa proses ini bukanlah proses tertutup, jawatankuasa secara aktif membuka ruang penyertaan awam. Pendekatan ini membolehkan jawatankuasa meneliti cadangan daripada pelbagai sudut iaitu Perlembagaan, operasi, pentadbiran dan pengalaman negara- negara Komanwel yang lain.

Tuan Yang di-Pertua, hasil daripada proses yang saya jelaskan tadi, Penyata Jawatankuasa Pilihan Khas ini telah dibentangkan dan diletakkan di atas meja Dewan Rakyat pada 22 Jun 2026 sebagai Kertas DR 11 Tahun 2026. Penyata ini bukan sekadar dokumen prosedur, ia adalah rumusan menyeluruh hasil tujuh mesyuarat, pelbagai taklimat dan libat urus awam yang saya nyatakan sebentar tadi yang merangkumi pemerhatian, penelitian dan syor jawatankuasa secara terperinci termasuklah huraian klausa demi klausa bagi pindaan yang dicadangkan.

Saya amat berharap penyata ini telah dan akan dibaca dan difahami sepenuhnya oleh Ahli-ahli Yang Berhormat dalam Dewan ini, bukan hanya dirujuk secara ringkas. Info grafik yang disediakan bersama penyata ini turut merumuskan isu-isu utama secara visual bagi memudahkan rujukan pantas.

Izinkan saya menjelaskan tujuh syor utama yang terkandung dalam penyata.

Pertama, Pendakwa Raya akan dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan tanpa nasihati Perdana Menteri atau Jemaah Menteri. Syor ini termaktub di bawah Fasal 1 Perkara 145A dibaca bersama dengan Fasal 21 Perkara 145A yang memperuntukkan bahawa dengan izin, notwithstanding Perkara 40, Perdana Menteri dan Jemaah Menteri tidak boleh menasihati Yang di-Pertuan Agong bagi maksud Perkara 145A.

Kedua, proses pelantikan akan lebih tulus dengan penglibatan Parlimen.

Senarai calon yang dicadangkan adalah dimaklumkan kepada Parlimen.

Membolehkan ulasan diberi kepada SPKP sebelum senarai calon dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong. Cadangan ini diterjemahkan melalui pindaan pada Fasal 18 Perkara 145A yang mewajibkan Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan memaklumi Parlimen mengenai nama-nama orang yang dicalonkan sebagai Pendakwa Raya serta membolehkan Parlimen memberikan ulasan kepada Suruhanjaya jika ada.

Ketiga, tempoh perjawatan Pendakwa Raya ditetapkan selama tujuh tahun sahaja tanpa pembaharuan dan tanpa pelantikan semula. Cadangan ini dizahirkan melalui pindaan kepada Fasal 5 Perkara 145A yang menetapkan bahawa Pendakwa Raya hendaklah dilantik bagi tempoh tujuh tahun dan pelantikan tersebut tidak boleh diperbaharui serta tidak layak untuk dilantik semula.

Keempat, Pendakwa Raya wajib mengemukakan laporan tahunan merangkumi pentadbiran, pengurusan dan kedudukan kewangan pejabatnya kepada Yang di-Pertuan Agong untuk seterusnya dibentangkan di hadapan kedua-dua Majlis Parlimen. Cadangan ini diterjemahkan melalui fasal baharu iaitu 7 Perkara 145B yang mewajibkan Pendakwa Raya mengemukakan laporan tahunan kepada Yang di-Pertuan Agong sebelum laporan tersebut dibentangkan di hadapan Yang di- Pertuan Agong.

Kelima, satu kod etika khusus akan digubal bagi Pendakwa Raya.

Pelanggaran kod ini menjadi salah satu alasan sah untuk menyingkirkan daripada jawatan di samping alasan sedia ada seperti dengan izin, inability atau misbehavior.

Cadangan ini dizahirkan melalui fasal baharu 19 Perkara 145A yang membolehkan Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan menetapkan satu kod etika bagi Pendakwa Raya serta pindaan pada Fasal 9 Perkara 145A yang memperuntukkan bahawa pelanggaran kod etika tersebut menjadi satu alasan pemecatan.

draft • 12:31 PM

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) - Dato’ Sri Azalina binti Othman Said

Keenam, satu peruntukan memberikan kuasa (enabling provision) dimasukkan ke dalam Perlembagaan, membolehkan Parlimen menggubal undang- undang lanjut mengenai pelantikan, penyingkiran dan tanggungjawab pelaporan Pendakwa Raya supaya reformasi ini dapat terus diperkukuh dari masa ke semasa.

Cadangan ini diterjemahkan melalui fasal baharu 20 Perkara 145A yang memperuntukkan kuasa kepada Parlimen untuk menggubal undang-undang berhubung dengan perkara-perkara tersebut.

Ketujuh, pelantikan Pendakwa Raya adalah terhad sepenuhnya kepada calon yang disyorkan oleh SPKP, memastikan proses pelantikan kekal berasaskan institusi dan bebas daripada pengaruh eksekutif. Cadangan ini dizahirkan melalui pindaan kepada fasal 1 Perkara 145A, yang memperuntukkan bahawa pelantikan Pendakwa Raya hendaklah dibuat daripada nama orang mengikut nasihat Suruhanjaya Perkhidmatan, Kehakiman dan Perundangan.

Tuan Yang di-Pertua, sejak penyata jawatankuasa ini dibentangkan, beberapa kebimbangan telah dibangkitkan oleh Ahli-ahli Yang Berhormat, serta pelbagai pihak berkepentingan. Pertama, terdapat pandangan bahawa peranan Parlimen dalam proses pelantikan Pendakwa Raya masih terlalu terhad kerana Parlimen hanya dimaklumkan melalui calon yang dicadangkan.

Kedua, timbul persoalan, mengapakah jawatankuasa mencadangkan modul jawatankuasa pilihan khas dan bukannya kelulusan penuh oleh Parlimen?

Ketiga, terdapat juga pandangan bahawa proses pelantikan Pendakwa Raya seharusnya diperincikan dengan lebih jelas dalam Perlembagaan atau undang- undang yang bertulis.

Justeru, kerajaan, kini membawa satu pindaan lanjut kepada fasal 18 Perkara 145A bagi memperkukuhkan lagi peranan Parlimen dalam proses pelantikan Pendakwa Raya. Pindaan ini adalah hasil penelitian terhadap pandangan yang dikemukakan oleh Ahli-ahli Yang Berhormat daripada kedua-dua belah pihak Dewan, pakar-pakar perundangan, badan profesional serta pertubuhan masyarakat sivil dan telah dipersetujui oleh Jemaah Menteri.

Di bawah cadangan pindaan ini, nama calon Pendakwa Raya hendaklah terlebih dahulu dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong. Maaf, yang dikemukakan kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat untuk dibentangkan di hadapan Dewan Rakyat. Calon tersebut kemudiannya hendaklah diteliti oleh Jawatankuasa Pilihan Dewan Rakyat sebelum Dewan Rakyat membuat syor kepada Suruhanjaya Perkhidmatan, Kehakiman dan Perundangan. Selaras dengan syor tersebut, Suruhanjaya Perkhidmatan, Kehakiman dan Perundangan hendaklah menasihati Yang di-Pertuan Agong, hanya berhubung dengan nama yang disyorkan oleh Dewan Rakyat. Pindaan yang dibuat ini mencerminkan sifat terbuka Kerajaan MADANI dalam menerima apa-apa cadangan dalam semangat reformasi institusi yang berterusan.

Tuan Yang di-Pertua, di kesempatan ini, izinkan saya merakamkan setinggi penghargaan kepada pihak jawatankuasa, kepada semua pihak-pihak yang telah memberikan kerjasama dan pandangan. Parlimen Malaysia, Bahagian Hal Ehwal Undang-undang, Jabatan Peguam Negara, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia, Badan Peguam Malaysia, Sabah Law Society, Gabungan Pilihan Raya Bersih atau Adil, Rasuah Busters and Center to Combat Corruption and Cronyism (C4), Projek SAMA, Pertubuhan IKRAM, CSO Platform for Reform, Institute for Democracy and Economic Affairs, Transparency International Malaysia (IDEAS), Angkatan Belia Islam Malaysia

(ABIM), Yang Berbahagia Profesor Emeritus Datuk Dr. Shad Saleem Faruqi dan Puan Maha Balakrishnan.

Saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada semua pertubuhan- pertubuhan masyarakat sivil yang pada hari ini telah menyatakan sokongan terhadap cadangan pindaan lanjut oleh kerajaan kepada fasal 18 dalam Perkara 145A.

Kerajaan menghargai pandangan, teguran dan kebimbangan yang dikemukakan secara konstruktif sepanjang proses ini. Segala pandangan tersebut telah diambil kira sehingga membolehkan kerajaan mengemukakan cadangan pindaan yang lebih kukuh dan mempertegaskan lagi peranan Parlimen dalam proses pelantikan Pendakwa Raya.

Saya turut mengambil maklum kenyataan pertubuhan-pertubuhan masyarakat sivil, bahawa pindaan ini bukan kemenangan bagi mana-mana pihak parti politik. Sebaliknya merupakan satu kemenangan kepada dengan izin, rule of law. Saya ingin menyatakan bahawa kerajaan berkongsi pandangan tersebut.

Sesungguhnya reformasi ini, bukan mengenai kepentingan politik mana-mana pihak, tetapi merupakan satu usaha untuk memperkukuh kedaulatan undang-undang, memperkasa institusi negara dan meningkatkan keyakinan rakyat terhadap sistem keadilan negara kita.

Tuan Yang di-Pertua, sebelum saya mengakhiri ucapan ini, izinkan saya memaklumkan kepada Dewan yang mulia ini, bahawa kerajaan bercadang untuk menyembahkan maklum kepada Majlis Raja-raja mengenai cadangan pindaan lanjut yang dibawa pada hari ini. Langkah ini diambil sebagai satu penghormatan kepada Institusi Raja Berperlembagaan dan bagi memastikan proses reformasi Perlembagaan ini dilaksanakan secara tertib dan berhemah selaras dengan amalan Perlembagaan Negara.

Sehubungan dengan itu, kerajaan bercadang untuk meneruskan prosiding bacaan kali kedua dan bacaan kali ketiga Rang Undang-undang Perlembagaan

(Pindaan) (No.2) 2026 termasuk perbahasan dan proses membuat keputusan mengenainya pada mesyuarat Dewan Rakyat yang berikutnya selepas Majlis Raja- raja disembah maklum mengenai cadangan pindaan tersebut.

draft • 12:40 PM
USUL
MENANGGUHKAN RANG UNDANG-UNDANG DI BAWAH P.M. 62

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) - Dato’ Sri Azalina binti Othman Said

Oleh yang demikian Tuan Yang di-Pertua, “Menurut Peraturan Mesyuarat 62, peraturan-peraturan Majlis mesyuarat Dewan Rakyat, saya memohon supaya prosiding bacaan kali kedua Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan)

(No.2) 2026 ditangguhkan dan diteruskan pada mesyuarat Dewan Rakyat yang akan datang.” Sekian, terima kasih. Saya mohon mencadangkan.

draft • 12:45 PM

Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor

Baik, Menteri. Ada sesiapa Yang Berhormat menyokong?

draft • 12:45 PM

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) - Tuan M. Kulasegaran a/l V. Murugeson

Saya mohon menyokong.

draft • 12:45 PM

Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor

Baiklah.

draft • 12:45 PM
RANG UNDANG-UNDANG
RANG UNDANG-UNDANG PERLINDUNGAN SAKSI (PINDAAN) 2026 Bacaan Kali Yang Kedua dan Ketiga

Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor

Dipersilakan Yang Berhormat Menteri untuk mengemukakan rang udang-undang ini.

draft • 12:45 PM

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) - Dato’ Sri Azalina binti Othman Said

Tuan Yang di-Pertua, saya mohon mencadangkan supaya Rang Undang-undang Perlindungan Saksi (Pindaan) 2026 dibacakan untuk kali yang kedua sekarang.

Tuan Yang di-Pertua, Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, dalam mana-mana sistem keadilan jenayah yang berkesan, keberanian seorang saksi untuk tampil memberikan keterangan adalah sama pentingnya dengan kebebasan siasatan dan pendakwaan. Tanpa saksi yang bersedia memberikan kerjasama, banyak kes jenayah yang serius tidak dapat dibuktikan di mahkamah, sekali gus menjejas usaha menegakkan keadilan.

Namun demikian, kita juga harus mengakui bahawa keputusan untuk tampil sebagai saksi, bukanlah satu yang mudah. Bagi sesetengah individu, ia membawa bersama risiko ancaman, ugutan, intimidasi dan tekanan psikologi, bukan saja terhadap diri mereka, malah terhadap ahli keluarga mereka. Atas sebab-sebab itulah, perlindungan kepada saksi bukan sekadar satu langkah kebajikan, tetapi merupakan komponen penting dalam memastikan integriti sistem keadilan jenayah negara terus dipelihara.

Tuan Yang di-Pertua, Akta Perlindungan Saksi 2009 [Akta 696] yang mula berkuat kuasa pada 2010 telah menyediakan asas yang kukuh bagi melindungi saksi-saksi yang membantu pihak berkuasa dalam kes-kes jenayah. Sepanjang lebih kurang 15 tahun pelaksanaannya, program perlindungan saksi telah membolehkan ramai saksi penting tampil memberikan keterangan dalam pelbagai kes jenayah serius termasuk kes bunuh, jenayah terancang, pengedaran dadah, penculikan, rasuah dan jenayah seksual.

Program ini telah memainkan peranan penting dalam membantu proses pendakwaan, serta meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan undang-undang.

Data daripada Bahagian Perlindungan Jabatan Perdana Menteri melaporkan penyertaan ke dalam program perlindungan saksi telah meningkat dengan ketara sejak tahun 2020, daripada 34 peserta kepada 78 peserta pada tahun 2022. Walau bagaimanapun, pengalaman pelaksanaan program ini turut menunjukkan bahawa terdapat beberapa aspek yang wajar diperkukuh supaya ia terus kekal relevan dengan cabaran-cabaran semasa.

Justeru, rang udang-undang ini, yang dibentangkan tidak akan menggubal dasar asas Akta 696, sebaliknya memperkukuh kerangka perundangan sedia ada berdasarkan pengalaman pelaksanaan serta keperluan operasi sempurna. Pindaan yang dicadangkan ini mengambil kira hasil penelitian dan libat urus yang dijalankan oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-undang, Jabatan Perdana Menteri bersama Bahagian Perlindungan, melibatkan pelbagai agensi penguatkuasaan Badan Kehakiman Jabatan Peguam Negara, Majlis Peguam Malaysia, SUHAKAM serta pihak-pihak yang berkepentingan.

Langkah proaktif telah diambil dengan mengadakan beberapa siri mesyuarat, bermula 18 Februari, 24 Mac, 15 Mei, untuk mengenalkan pasti isu-isu pelaksanaan program perlindungan saksi. Seterusnya, mesyuarat koordinasi telah diadakan pada 24 Jun 2025, diikuti dengan Bengkel Penyelarasan Pendapatan Dasar pada 4 Ogos 2025 yang melibatkan sinergi merentasi pelbagai kementerian, agensi penguatkuasaan, mahkamah, Majlis Peguam serta NGO seperti SUHAKAM dan SUARAM.

Cadangan ini, kemudiannya diselaraskan dan diangkat oleh jawatankuasa induk yang dipengerusikan oleh Ketua Pengarah BHEUU pada 29 Ogos 2025.

Kemudiannya diserahkan kepada Jemaah Menteri, yang bersetuju secara prinsip dengan dasar pindaan akta ini pada 1 April 2026. Hasil daripada proses tersebut, kerajaan mengenal pasti empat objektif utama untuk menjadi asas pada rang udang- undang ini:

(i) memperluaskan akses kemasukan ke dalam program perlindungan saksi;

(ii) memperkukuh tadbir urus dan pentadbiran program;

(iii) meningkatkan kebajikan dan kesejahteraan peserta program; dan

(iv) memperluaskan aspek perlindungan kepada bekas peserta program selepas program ditamatkan.

Tuan Yang di-Pertua, seterusnya izinkan saya menghuraikan fasal-fasal utama yang terkandung dalam rang udang-undang ini. Fasal 1 mengandungi tajuk ringkas dan peruntukan mengenai permohonan kuat kuasa akta.

Fasal 2, bertujuan untuk meminda subseksyen 73(7) dan (3) [Akta 696] untuk membolehkan permohonan kemasukan ke dalam program dibuat bagi pihak seorang saksi yang tiada keupayaan di sisi undang-undang oleh ibu bapa atau penjaga.

Fasal 3 bertujuan untuk memasukkan seksyen baharu 10A dan 10B.

Fasal 4 bertujuan untuk meminda seksyen 13(2) dengan memasukkan perenggan baharu (ia) untuk memasukkan bantuan psikologi termasuk kaunseling sebagai sebahagian daripada bantuan yang boleh diberikan.

Fasal 5 bertujuan untuk meminda seksyen 16 dan fasal 6 bertujuan untuk memasukkan seksyen baharu 29A.

Untuk memberi ketua pengarah kuasa untuk mengeluarkan perintah tetap bagi pentadbiran dan pelaksanaan program.

draft • 12:45 PM

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) - Dato’ Sri Azalina binti Othman Said

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat perincian dan penjelasan lanjut mengenai fasal-fasal di bawah ini adalah sebagaimana yang dinyatakan dalam naskhah biru dengan izin the blue bill. Tuan Yang di-Pertua pindaan pada akta ini menzahirkan komitmen kerajaan bahawa negara melindungi mereka yang berani berkata benar dengan memastikan setiap individu yang tampil memberikan keterangan atau kerjasama kepada pihak berkuasa mendapat perlindungan yang sewajarnya tanpa rasa takut, ancaman atau intimidasi.

Oleh itu saya menyeru sokongan padu daripada semua Ahli-ahli Dewan Rakyat yang mulia ini agar rang undang-undang ini dapat diluluskan demi memperkukuh sistem keadilan jenayah serta menjamin integriti sistem perundangan negara kita. Dengan itu saya mengucapkan terima kasih. Saya mohon mencadangkan.

draft • 12:50 PM

Timbalan Yang di-Pertua - Dato' Dr. Ramli bin Dato' Mohd Nor

Baik Menteri. Ada sesiapa Yang Berhormat dalam dewan menyokong?

draft • 12:50 PM

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) - Tuan M. Kulasegaran a/l V. Murugeson

Saya mohon menyokong.

draft • 12:50 PM

Timbalan Yang di-Pertua - Dato' Dr. Ramli bin Dato' Mohd Nor

Ahli-ahli Yang Berhormat masalah di hadapan Majlis ialah rang undang-undang bernama suatu akta untuk meminda akta perlindungan saksi 2009 dibaca kali kedua sekarang dan terbuka untuk dibahaskan.

Ahli-ahli Yang Berhormat senarai di dalam tangan saya terdapat sejumlah 13 Yang Berhormat akan berbahas. Senarai itu adalah seperti berikut. Yang Berhormat Kepong, Yang Berhormat Besut, Yang Berhormat Jerlun, Yang Berhormat Batu Pahat, Yang Berhormat Pendang, Yang Berhormat Permatang Pauh, Yang Berhormat Klang, Yang Berhormat Padang Serai, Yang Berhormat Sabak Bernam, Yang Berhormat Kota Belud, Yang Berhormat Sik, Yang Berhormat Padang Rengas dan di akhiri oleh Yang Berhormat Bukit Bendera.

Dengan ini saya mempersilakan Yang Berhormat Kepong untuk membuka tirai. Masa lima minit. Walau bagaimanapun tertakluk kepada budi bicara pengerusi Majlis ketika itu. Silakan Yang Berhormat. Yang Berhormat Kepong, jika tidak ada Yang Berhormat Besut. Silakan.

draft • 12:50 PM

Datuk Che Mohamad Zulkifly bin Jusoh - Besut

Terima kasih Yang di- Pertua. Bismillahirrahmanirrahim. Pindaan subseksyen 7 kita tengok dulu, 7(1) menambah golongan tiada keupayaan di sisi undang-undang sebagai boleh diwakili ibu bapa ataupun penjaga untuk membuat permohonan bersama dengan saksi.

Jadi persoalan dia apakah tafsiran sebenarnya? Yang disebut sebagai frasa tiada keupayaan di sisi undang-undang. Siapa yang perlu menentukan seseorang itu tidak berupaya di sisi undang-undang? Sama ada seseorang pakar diperlukan untuk menentukannya lebih-lebih lagi melibatkan slow learner atau lembam yang disebutkan dalam akta dan juga yang autisme.

Jadi kita kena rujuk juga. Saya bila membincangkan perkara ini seksyen 118 Akta Keterangan. Kalau kita lihat tidak semua orang adalah di anggap kompeten untuk memberi keterangan, melainkan mahkamah berpendapat bahawa mereka tidak boleh memahami atau memberikan jawapan rasional kepada soalan yang ditanya.

Disebabkan faktor umur ataupun penyakit. Yang faktor umur itu dah ada dalam akta. Yang penyakit itu, tidak ditentukan sama ada autisme dengan apa ni, lembam itu adalah penyakit. Jadi nak bawa ke mahkamah nanti agak susah.

Jadi dalam erti kata lain kompetisi di bawah Akta Keterangan ini dinilai berdasarkan keupayaan kognitif saksi di kalangan saksi. Jadi, berbalik kepada undang-undang kita ini. Adakah kondisi seperti masalah lembam dengan autisme ini yang menyebabkan seseorang itu tiada keupayaan di sisi undang-undang? Di bawah akta ini. Masih boleh di anggap sebagai saksi kompeten di bawah Akta 118.

Jika ketua pengarah program mengatakan bahawa saksi itu adalah saksi yang tiada keupayaan dan mahkamah pula kemudiannya berpendapat bahawa ia bukan saksi kompeten. Itu yang susahnya. Adakah perlindungan masih akan diberikan disebabkan ada ancaman ke atas nyawanya kerana memiliki maklumat.

Ini adalah soalan penting untuk di jawab. Yang menjelaskan sama ada Akta Perlindungan Saksi ini berfungsi secara tegar hanya untuk saksi yang boleh memberi keterangan di mahkamah atau turut berfungsi sebagai instrumen. Sebagai instrumen kemanusiaan yang fleksibel untuk melindungi sesiapa sahaja yang terancam kerana memiliki maklumat walaupun keterangan mereka tiada nilai di mahkamah. Dan saya ingin bertanya juga lah apa justifikasinya menambah tentang yang tidak ada upaya untuk memberi keterangan.

Seterusnya kaedah perlindungan saksi di mahkamah. Undang-undang lain seperti Akta Keterangan Saksi 2007 ini. Ada juga Kanun Prosedur Jenayah memperincikan berkaitan keterangan melalui rakaman video. Atau di sebalik penghadang –– dia ada penghadang kalau di mahkamah melibatkan saksi begini dia ada penghadang dan juga rakaman video. Agar saksi tidak perlu melihat tertuduh.

Jadi untuk akta ini pula, walaupun tujuannya adalah melindungi saksi.

Malangnya tiada peruntukan tentang cara melindungi saksi ketika memberi keterangan di mahkamah. Ini merupakan jurang yang pernah, yang perlu di tangani terutamanya apabila skop akta ini turut merangkumi golongan yang mempunyai ketidakupayaan seperti lembam dan juga autisme.

Jika mereka terpaksa berhadapan dengan tertuduh di mahkamah keadaan tersebut boleh mencetuskan trauma psikologi yang teruk kepada saksi daripada kelompok berkenaan. Mengapa rang undang-undang ini tidak memasukkan sekali peruntukan mandatory untuk mewajibkan persidangan secara tertutup? Atau pemasangan penghadang tadi. Bagi kategori saksi tiada keupayaan. Dan sebaliknya masih bergantung kepada budi bicara mahkamah di bawah akta-akta lain.

Seterusnya di bawah fasal 3 perjanjian di tanda tangani oleh ibu bapa.

Disebut dalam tu perjanjian permohonan dibuat oleh ibu bapa. Perjanjian juga di tanda tangani oleh ibu bapa. Mereka tak tahu faham ataupun tidak. Itu yang masalah dia.

Yang fasal 5 pula, berkenaan dengan penamatan program jika peserta itu dengan sengaja melanggar sesuatu terma dan juga syarat dalam perjanjian. Dalam kes peserta tiada keupayaan undang-undang ini. Jika ketua pengarah mengusulkan untuk menamatkan perlindungan kerana mendakwa ada pelanggaran yang sengaja.

Siapakah yang mempunyai locus standi untuk mengemukakan rayuan?

Dan adakah hak rayuan itu milik penjaga yang mungkin menjadi punca pelanggaran tersebut atau saksi itu sendiri? Akta ibu tidak mempunyai mekanisme untuk melantik wakil litigasi bebas bagi menguruskan rayuan saksi kurang upaya ini.

Sekiranya wujud konflik kepentingan antara saksi dan juga penjaga. Oleh yang demikian, mohon penjelasan kerajaan bagaimanakah situasi ini akan dikendalikan sekiranya berlaku melibatkan golongan kurang upaya sedemikian?

Dan persoalan— saya ingin menyatakan beberapa langkah kadar kejayaan sama ada berapa banyak kadar kejayaan pendakwaan yang melibatkan saksi di bawah program ini. Dan saya ingin menyatakan bahawa penggunaan teknologi moden bagi mengurangkan risiko kepada saksi banyak kalau kita boleh nyatakan.

Selain video conference tadi dan juga penghadang, mungkin kita boleh— pemberi keterangan itu melalui pautan video yang selamat. Contoh yang saya beri tadi video conference tadi, sistem komunikasi yang disulitkan dan juga perlindungan data digital dan juga kawalan akses kepada maklumat saksi.

Akhirnya saya ingin nyatakan bahawa program perlindungan saksi ini memerlukan kos yang tinggi termasuk penempatan semula, keselamatan, bantuan kewangan, rawatan psikologi dan serta juga pemantauan berterusan. Jadi soalan saya sekiranya kerajaan meluluskan pindaan ini tetapi gagal menyediakan peruntukan yang mencukupi, objektifnya akta ini tidak akan tercapai. Jadi berapakah kos sebenar, kos tahunan program-program perlindungan saksi ini sejak lima tahun yang lepas?

Dan akhirnya juga saya katakan kesimpulannya isu-isu yang saya bangkitkan ini perlulah diteliti dengan serius oleh pihak kerajaan. Kita tidak mahu undang- undang ini yang sepatutnya melindungi saksi, akhirnya menyebabkan golongan yang lemah seperti anak-anak kurang upaya terdedah kepada bahaya atau mengalami trauma psikologi yang lebih teruk ekoran kelompangan yang wujud dalam akta ini.

Sekian Yang di-Pertua. Terima kasih.

draft • 12:52 PM

Timbalan Yang di-Pertua - Dato' Dr. Ramli bin Dato' Mohd Nor

Terima kasih Yang Berhormat Besut. Yang Berhormat Yang Berhormat Majlis berhenti rehat untuk solat dan juga makan. Majlis akan mula semula pada jam 2.30 petang.

draft • 12:52 PM

[Mesyuarat ditempohkan pada pukul 1.01 tengah hari]

[Mesyuarat disambung semula pada pukul 2.30 petang]

Timbalan Yang di-Pertua - Dato' Dr. Ramli bin Dato' Mohd Nor

[Timbalan Yang di-Pertua (Puan Alice Lau Kiong Yieng) mempengerusikan

draft • 2:30 PM

Mesyuarat] Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng

Saya jemput Yang Berhormat Kepong.

draft • 2:30 PM

Tuan Lim Lip Eng - Kepong

Terima kasih Puan Yang di-Pertua. Tuan Yang di-Pertua, saya menyokong penambahan bantuan psikologi dan bantuan peralihan selepas perlindungan ditamatkan. Namun, beberapa kelemahan utama masih perlu diperbaiki.

Pertama, seksyen baru 10A mewajibkan perjanjian ditandatangani selepas saksi dimasukkan ke dalam program. Ini bermakna peserta diterima sebelum skop perlindungan bantuan dan kewajipan kedua-dua pihak dipersetujui. Di Australia, saksi hanya menjadi peserta selepas memorandum ditandatangani oleh saksi dan Pesuruhjaya.

Di Kanada, perjanjian yang menyatakan kewajipan kedua-dua pihak juga menjadi syarat kemasukan perlindungan kecemasan tanpa perjanjian dibenarkan tetapi dihadkan kepada 90 hari dan satu lanjutan sehingga 90 hari.

Akta kita sudah membenarkan perlindungan sementara semasa permohonan dipertimbangkan. Oleh itu, perjanjian patut ditandatangani sebelum kemasukan muktamad tanpa menjejaskan perlindungan sementara bagi kes mendesak.

Kedua, seksyen 10A menyatakan perjanjian boleh mengandungi terma tertentu. Perkataan ini terlalu lemah. Ia tidak mewajibkan perjanjian menyatakan tempoh perlindungan, jenis bantuan, kewajipan kerajaan, kaedah mengubah terma atau proses pendapatan.

Australia mewajibkan memorandum menyatakan akses kemasukan serta butiran perlindungan dan bantuan. Kanada pula meletakkan kewajipan pada pihak berkuasa untuk mengambil langkah munasabah bagi melaksanakan perlindungan yang dipersetujui.

Perkataan “Boleh” hendaklah diganti dengan “Hendaklah”. Kandungan minimum mesti ditengahkan dalam akta atau peraturan. Peserta juga mesti menerima salinan dan penjelasan dalam bahasa yang difahaminya.

Ketiga, RUU ini tidak menerangkan bagaimana tiada keupayaan di sisi undang-undang hendak dinilai. Ia juga tidak menangani keadaan apabila ibu bapa atau penjaga mempunyai konflik kepentingan atau menjadi punca ancaman.

RUU ini perlu mewajibkan penilaian keupayaan, mengambil kira kepentingan terbaik serta pandangan peserta dan membolehkan wakil bebas dilantik. Persetujuan baru juga patut diperolehi apabila peserta mencapai umur 18 tahun atau kembali berkeupayaan.

Australia sekurang-kurangnya secara khusus membenarkan memorandum baru diminta apabila peserta mencapai umur 18 tahun.

Keempat, alasan penamatan baru terlalu luas. Peserta boleh ditamatkan kerana sengaja melanggar mana-mana terma perjanjian. Walaupun perlanggaran itu kecil dan tidak menjejaskan keselamatan program.

Kanada hanya membenarkan penamatan bagi pelanggaran yang disengajakan dan material. Ia turut mewajibkan notis, peluang membuat representasi dana alasan bertulis. Akta Malaysia sedia ada memang memberi peserta peluang untuk didengar rayuan dalam tempoh 14 hari kepada Menteri dan perlindungan berterusan sehingga rayuan diputuskan.

Namun, seksyen 23 mengecualikan semakan kehakiman terhadap keputusan di bawah akta. RUU ini tidak membentuk kan kelemahan tersebut.

Perlanggaran mesti dinyatakan sebagai serius dan material. Keputusan pendapatan juga patut boleh disemak oleh panel bebas dengan akses terhad ke mahkamah tinggi melalui prosiding tertutup bagi menjaga keselamatan.

Kelima, bantuan selepas penamatan masih bergantung kepada budi bicara Ketua Pengarah. Tiada penilaian risiko wajib, pelan peralihan bertulis, tempoh minimum atau kriteria untuk menghentikan bantuan.

Australia membenarkan perlindungan kepada bekas peserta apabila tindakan itu perlu dan munasabah selepas kesesuaiannya dinilai. Malaysia patut mewajibkan penilaian risiko sebelum perlindungan dihentikan dan menyediakan pelan keluar yang merangkumi tempat tinggal, kewangan, rawatan psikologi serta pekerjaan.

Keenam, seksyen 29A membenarkan Ketua Pengarah mengeluarkan perintah tetap bagi apa-apa perkara lain yang dianggap perlu. Perkara operasi keselamatan memang perlu dirahsiakan. Namun, peraturan yang menentukan hak serta bantuan dan penamatan tidak boleh ditetapkan melalui arahan dalaman semata-mata. Ia patut dibuat melalui peraturan di bawah seksyen 30 dan diwartakan.

Akta sedia ada hanya mewajibkan laporan tahunan kepada Menteri Kanada dan Australia mewajibkan laporan mengenai program dibentangkan kepada Parlimen tanpa mendedahkan keselamatan operasi Malaysia. Malaysia juga perlu mempunyai laporan tahunan tanpa nama, audit bebas dan penyeliaan Parlimen.

Sekian, terima kasih.

draft • 2:32 PM

Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng

Terima kasih Yang Berhormat Kepong. Saya jemput Yang Berhormat Jerlun.

draft • 2:32 PM

Dr. Haji Abd Ghani bin Ahmad - Jerlun

*Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.* Tuan Yang di-Pertua, Jerlun juga turut serta membahaskan RUU Akta Perlindungan Saksi 2009 (Pindaan) 2026 [Akta 696] yang dibentangkan pagi tadi.

Saya tiada halangan untuk menyokong pindaan RUU ini atas dasar untuk memperkukuhkan perlindungan saksi. Tanpa saksi yang berani tampil, mustahil sistem keadilan jenayah dapat berfungsi dengan berkesan.

Tanggungjawab kita di sini ialah untuk memastikan setiap undang-undang yang diluluskan benar-benar melindungi rakyat bukan sekadar memperluaskan kuasa pentadbiran. Kerajaan mengatakan pindaan ini akan memperkukuhkan program perlindungan saksi.

Persoalannya mengapa selepas lebih 15 tahun akta ini berkuat kuasa, kerajaan masih perlu melakukan pindaan yang begitu besar? Bukankah ini sendiri menunjukkan terdapat kelemahan dalam pelaksanaan yang lebih penting di sini ialah persoalan keyakinan rakyat terhadap penguatkuasaan undang-undang.

Hari ini adakah rakyat benar-benar yakin bahawa jika mereka tampil menjadi saksi terhadap jenayah terancang, rasuah atau salah guna kuasa, mereka akan dilindungi sepenuhnya atau mereka lebih yakin bahawa mereka akan diugut, dipindahkan, kehilangan pekerjaan atau hidup dalam ketakutan? Kalau rakyat masih takut menjadi saksi maka objektif akta ini belum mencapai matlamat yang sebenarnya.

Tuan Yang di-Pertua, saya merujuk fasal 2, iaitu meminda seksyen 7(3) iaitu untuk membolehkan seseorang ibu atau bapa atau penjaga kepada seorang saksi yang tidak berkeupayaan di sisi undang-undang untuk masuk ke dalam program perlindungan saksi. Soalnya, siapakah yang menentukan seseorang yang tidak berkeupayaan di sisi undang-undang layak atau tidak layak memasuki program perlindungan saksi?

draft • 2:37 PM

Dr. Haji Abd Ghani bin Ahmad - Jerlun

Apakah kriterianya? Adakah terdapat tempoh masa yang ditetapkan? Adakah keputusan itu boleh disemak semula?

Pindaan ini memberikan kuasa yang lebih luas kepada Menteri atau Ketua Pengarah tetapi kuasa yang luas mestilah disertai akauntabiliti yang tinggi.

Kalau semuanya bergantung pada budi bicara pentadbiran, bagaimana kita hendak meyakinkan rakyat bahawa keputusan dibuat secara bebas dan konsisten?

Kita tidak mahu program perlindungan saksi akhirnya dibebankan dengan permohonan yang tidak memenuhi tahap ancaman sebenar sehingga menjejaskan saksi yang benar-benar memerlukan perlindungan.

Merujuk fasal 3 iaitu mewujudkan seksyen baharu 10A dan 10B berkaitan perjanjian yang mana seseorang peserta program, sama ada peserta di bawah umur 18 tahun ataupun peserta tidak berkeupayaan. Maka, ibu atau bapa atau penjaga hendaklah menandatangani perjanjian.

Di bawah seksyen 10 Akta Ibu, hanya memerlukan syor sahaja daripada Ketua Pengarah dengan persetujuan Peguam Negara, tidak perlu kepada perjanjian.

Dengan mewujudkan perjanjian, bahkan perjanjian ini pula wajib ditandatangani oleh peserta program tersebut. Saya bimbang pindaan ini memberi kuasa yang besar kepada Menteri atau Ketua Pengarah tanpa semak dan imbang yang mencukupi.

Bayangkan jika seseorang saksi membantu pihak pendakwaan terhadap sindiket besar, tiba-tiba perlindungannya ditamatkan kerana alasan pentadbiran atau kepentingan pihak tertentu. Siapa yang akan bertanggungjawab sekiranya berlaku sesuatu kepada saksi tersebut? Nyawa manusia tidak boleh bergantung pada fail dan tandatangan semata-mata.

Saya merujuk kes Albert Tei, Sinar Harian 9 Jun 2026 melaporkan, Albert Tei telah mendedahkan klip video yang didakwa mengaitkan ahli politik Sabah, termasuk rakaman berkaitan pemindahan dana berjumlah jutaan ringgit. Dan mendakwa wujud dalang dalam Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Beliau juga berikrar untuk mendedahkan skandal rasuah yang membabitkan ahli-ahli politik di Sabah sekiranya disaman oleh bekas Ketua Suruhanjaya SPRM.

Dalam kes Albert Tei ini, apabila beliau membuat pendedahan mendakwa dirinya menerima ancaman, tetapi pada masa yang sama, tidak layak mendapat perlindungan sebagai pemberi maklumat di bawah Akta Pemberi Maklumat 2010 [Akta 711] kerana didakwa turut terlibat dalam kesalahan.

Soalan saya di sini ialah pertama, apakah mekanisme tersedia untuk menilai sama ada beliau wajar dipertimbangkan di bawah Akta Perlindungan Saksi 2009?

Kedua, adakah terdapat laluan yang jelas atau wujud kelompongan undang- undang sehingga beliau yang mungkin mempunyai keterangan penting, akhirnya terdedah kepada risiko keselamatan?

Jika seseorang mempunyai maklumat yang jelas dan benar terhadap sesuatu perlakuan jenayah, tetapi mereka tiada jaminan untuk mendapatkan perlindungan, bagaimanakah kerajaan hendak memerangi rasuah, jenayah terancang dan penyalahgunaan kuasa, jika mereka enggan bercakap atau membuat pendedahan?

draft • 2:40 PM

Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng

Masa sudah tamat.

draft • 2:40 PM

Dr. Haji Abd Ghani bin Ahmad - Jerlun

Akhirnya, undang-undang yang baik bukan hanya menghukum pesalah, undang-undang yang baik ialah undang- undang yang membuatkan orang berani bercakap benar.

Jika saksi masih takut, jika pemberi maklumat masih bimbang, jika rakyat masih tidak yakin kepada perlindungan negara, maka pindaan ini belum boleh dianggap satu kejayaan. Saya dan rakan-rakan di sebelah sini akan terus menyokong usaha memperkukuh sistem keadilan, tetapi kami tidak akan berkompromi terhadap soal ketelusan, akauntabiliti dan semak imbang. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.

draft • 2:40 PM

Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng

Terima kasih Yang Berhormat Jerlun. Saya jemput Yang Berhormat Batu Pahat.

draft • 2:40 PM

Tuan Haji Onn bin Abu Bakar - Batu Pahat

Bismillahirrahmanirrahim. Terima kasih Timbalan Yang di-Pertua kerana memberikan peluang kepada saya untuk turut mengambil bahagian dalam membahaskan Rang Undang-undang Perlindungan Saksi (Pindaan) 2026.

Pada asasnya, saya menyokong RUU ini kerana ia merupakan satu lagi langkah penting dalam agenda reformasi institusi dan usaha Kerajaan MADANI dalam memperkukuhkan sistem keadilan jenayah negara.

Timbalan Yang di-Pertua, Akta Perlindungan Saksi 2009 telah diwujudkan bagi memastikan saksi-saksi penting yang membantu pihak berkuasa dapat memberikan keterangan tanpa rasa takut terhadap ugutan, ancaman atau tindakan balas daripada pihak-pihak yang berkepentingan.

Sejak program perlindungan saksi dilaksanakan pada tahun 2010, program ini telah melibatkan pelbagai kes berprofil tinggi, termasuk kes bunuh, jenayah terancang, pengedaran dadah, penculikan, rasuah dan jenayah seksual. Ini menunjukkan bahawa program perlindungan saksi bukan lagi satu mekanisme sampingan, tapi telah menjadi komponen utama dalam sistem keadilan jenayah negara.

Namun begitu, perubahan landskap jenayah, peningkatan jenayah terancang, perkembangan teknologi digital serta cabaran baharu terhadap keselamatan saksi menuntut agar akta ini sentiasa dikemas kini mengikut keperluan semasa.

Timbalan Yang di-Pertua, saya ingin menyentuh beberapa pindaan utama yang saya lihat amat signifikan. Pertama, memperluaskan akses kepada program perlindungan saksi. Saya menyokong pindaan yang membolehkan ibu, bapa atau penjaga membuat permohonan bagi pihak saksi yang tidak mempunyai keupayaan undang-undang. Sebelum ini, kemudahan tersebut hanya terpakai pada saksi di bawah umur 18 tahun. Kini, perlindungan diperluaskan kepada individu dewasa yang mempunyai ketidakupayaan mental atau intelektual sehingga tidak mampu membuat keputusan sendiri.

Ini merupakan satu pindaan yang lebih inklusif serta selaras dengan prinsip hak asasi manusia dan Konvensyen Hak Orang Kurang Upaya. Golongan yang lemah tidak seharusnya dinafikan hak untuk dilindungi hanya kerana mereka tidak mampu menguruskan urusan undang-undang sendiri.

Kedua, perjanjian rasmi antara peserta program dan kerajaan. Saya melihat kewajipan menandatangani perjanjian merupakan satu penambah baik yang amat baik. Perjanjian ini akan memberikan hak peserta, bentuk perlindungan yang akan diberikan, tanggungjawab kedua-dua pihak serta syarat-syarat yang perlu dipatuhi.

Pendekatan ini akan meningkat ketelusan, akauntabiliti serta mengurangkan pertikaian pada masa hadapan.

Selain itu, saya turut menyokong supaya perjanjian sedia ada terus diiktiraf agar tiada kekeliruan terhadap peserta yang telah berada dalam program sebelum pindaan ini berkuat kuasa.

Ketiga, bantuan psikologi kepada peserta. Saya berpendapat, pindaan ini merupakan antara yang paling penting. Saksi kepada kes jenayah berat lazimnya mengalami trauma yang mendalam. Ada yang kehilangan ahli keluarga, menerima ugutan, mengalami tekanan emosi, malah terpaksa meninggalkan pekerjaan serta kehidupan asal mereka.

Oleh itu, perlindungan fizikal semata-mata tidak mencukupi. Kerajaan perlu menyediakan bantuan psikologi, kaunseling serta sokongan kesihatan mental secara profesional supaya peserta benar-benar mampu meneruskan kehidupan yang lebih baik. Pada hemat saya, aspek keselamatan mental perlu dijadikan salah satu indikator kejayaan program perlindungan saksi.

Keempat, bantuan selepas penamatan program. Saya juga menyokong pemberian bantuan secara sekali (one-off) kepada peserta yang baharu ditamatkan daripada program. Walaupun mereka telah keluar daripada program, risiko keselamatan mungkin masih wujud. Oleh itu, bantuan seperti penempatan semula, bantuan kewangan sementara dan keperluan asas adalah amat wajar supaya mereka dapat menjalani kehidupan baharu dengan lebih cermat. Timbalan Yang di-Pertua, saya juga menyambut baik cadangan memberi kuasa kepada Ketua Pengarah memulakan perintah-perintah tetap. Ini akan menyeragamkan aspek operasi, latihan pegawai, tanggungjawab dan tatacara pentadbiran program. Walau bagaimanapun, saya berharap setiap perintah tetap yang dikeluarkan sentiasa selaras dengan akta, menghormati hak asasi peserta serta tertakluk kepada mekanisme semakan yang sewajarnya.

Timbalan Yang di-Pertua, di samping menyokong RUU ini, saya ingin mengemukakan beberapa cadangan kepada kerajaan. Pertama, saya ingin mengetahui jumlah keseluruhan peserta program perlindungan saksi sejak tahun 2010 hingga hari ini mengikut kategori kes seperti pembunuhan, rasuah, jenayah terancang, dadah dan lain-lain. Maklumat ini penting bagi menilai keberkesanan program.

Kedua, berapakah jumlah pegawai perlindungan ketika ini dan adakah kerajaan bercadang menambah kapasiti sumber manusia serta peruntukan kewangan bagi menghadapi peningkatan kes jenayah kompleks?

Ketiga, adakah kerajaan mempunyai sistem penilaian prestasi program seperti kadar kejayaan pendakwaan yang melibatkan peserta program, kadar ancaman yang berjaya dielakkan serta tahap keselamatan peserta selepas tamat program?

Keempat, saya mencadangkan supaya program perlindungan saksi ini turut diperkasakan dengan penggunaan teknologi moden. Sebagai contoh, penggunaan identiti digital yang selamat, komunikasi yang disulitkan (encrypted communication), sistem pemantauan keselamatan berteknologi tinggi serta perlindungan terhadap ancaman siber.

draft • 2:44 PM

Tuan Haji Onn bin Abu Bakar - Batu Pahat

Hari ini, ancaman terhadap saksi bukan sahaja berlaku secara fizikal, tetapi juga melalui media sosial, penyebaran maklumat peribadi, serangan siber dan teknologi kecerdasan buatan...

draft • 2:50 PM

Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng

Masa sudah tamat.

draft • 2:50 PM

Tuan Haji Onn bin Abu Bakar - Batu Pahat

Oleh itu, sekali lagi saya menyatakan sokongan kepada RUU ini untuk diluluskan.

draft • 2:50 PM

Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng

Terima kasih Yang Berhormat Batu Pahat. Saya jemput Yang Berhormat Pendang.

draft • 2:50 PM

Datuk Haji Awang bin Hashim - Pendang

*Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,* salam sejahtera.

Saya mengambil kesempatan ini mengucapkan ucapan terima kasih kepada Puan Yang di-Pertua kerana memberi peluang kepada Pendang untuk membahaskan Rang Undang-undang Perlindungan Saksi (Pindaan) 2026 kerana pindaan ini merupakan satu langkah penting dalam memperkukuhkan sistem keadilan jenayah dalam negara kita.

Dalam landskap jenayah pada hari ini yang semakin kompleks, melibatkan sindiket jenayah terancang, rasuah, penyeludupan, pemerdagangan manusia serta jenayah rentas sempadan. Oleh sebab itu, keberanian seseorang saksi tampil memberi keterangan sering menjadi penentu kepada kejayaan sesuatu pendakwaan. Oleh itu, perlindungan terhadap saksi perlu sentiasa diperkasakan mengikut keperluan semasa. Walau bagaimanapun, saya ingin membangkitkan beberapa perkara untuk perhatian Menteri.

Pertamanya Puan Yang di-Pertua, mengenai kapasiti pelaksanaan program perlindungan saksi. RUU ini memperluaskan skop perlindungan dengan membenarkan ibu bapa atau penjaga membuat permohonan bagi pihak individu dewasa yang tidak mempunyai keupayaan undang-undang. Pada masa yang sama, bantuan psikologi turut diperkenalkan sebagai sebahagian daripada perlindungan kepada peserta program.

Puan Yang di-Pertua, persoalannya, adakah bahagian perlindungan mempunyai kapasiti yang mencukupi untuk melaksanakan tanggungjawab yang semakin bertambah ini? Saya ingin mengetahui, berapakah jumlah pegawai perlindungan yang ada pada masa ini dan berapakah pegawai psikologi yang akan ditempatkan bagi melaksanakan pindaan ini? Jika skop program ini diperluaskan tanpa penambahan sumber manusia dan peruntukan kewangan yang sewajarnya, kita bimbang pelaksanaannya nanti tidak mencapai matlamat yang dihasratkan.

Puan Yang di-Pertua, berkaitan dengan psikologi juga, kita ada beberapa peserta program. Jadi, Pendang menyambut baik cadangan ini kerana trauma yang dialami oleh seseorang saksi tidak semestinya berakhir apabila sesuatu perbicaraan selesai. Ramai saksi masih berdepan tekanan emosi, kebimbangan terhadap keselamatan diri dan keluarga sepertimana yang berlaku kepada kes Yang Berhormat Pandan di mana anaknya dikatakan dicucuk dengan jarum yang mempunyai kita tak tahu apa bahannya. Yang ini boleh mendatangkan mudarat.

Begitu juga dengan kes yang berlaku kepada Albert Tei yang disebut tadi yang mana dia adalah pemberi maklumat.

Jadi kalau perkara-perkara begini kita tidak atasi, jadi negara kita akan bertambah lagilah jenayah, rasuah dan sebagainya kerana orang tidak berani menjadi sebagai saksi untuk keluar di barisan hadapan bagi menerangkan ataupun menjelaskan perkara-perkara sebagai perkara-perkara yang tak sihat berlaku dalam negara kita sepertimana rasuah, skandal dan juga projek-projek yang berlaku di dalam negara kita kerana dengan tidak ada keselamatan mereka untuk kita protect atau untuk kita melindungi mereka.

Justeru itu, saya ingin mendapat penjelasan sama ada bantuan psikologi ini hanya diberikan sepanjang peserta berada dalam program ataupun diteruskan selepas mereka keluar daripada program berdasarkan keperluan.

Ketiganya Puan Yang di-Pertua, bantuan selepas penamatan program. RUU ini memperuntukkan bantuan secara one-off bagi membantu peserta membuat peralihan kehidupan. Dalam konteks ini, saya menghargai langkah tersebut. Namun bagi seseorang yang terpaksa berpindah ke lokasi baru, menukar tempat tinggal, memindahkan persekolahan anak-anak dan membina semula kehidupan, bantuan one-off sekali diberi ini mungkin akan lebih menyusahkan mereka. Jadi, saya harap kerajaan ada beberapa program follow-up ataupun continuous program yang boleh menjaga mereka yang terlibat ini.

Namun begitu, bagi seseorang yang terpaksa berpindah ke lokasi baru, saya mencadangkan supaya kerajaan mempertimbangkan satu mekanisme penilaian secara kes demi kes agar bantuan tambahan boleh diberikan sekiranya ancaman terhadap bekas peserta masih berterusan. Keselamatan saksi tidak seharusnya terhenti hanya kerana penyertaannya dalam program telah tamat.

Puan Yang di-Pertua, keempatnya, Pendang merasakan mengenai kuasa ketua pengarah mengeluarkan perintah-perintah tetap. Pendang memahami keperluan memberi fleksibiliti kepada pentadbiran program, namun begitu, setiap kuasa pentadbiran juga perlu disertakan dengan mekanisme semak dan imbang yang jelas. Puan Yang di-Pertua, saya berpandangan perlu ada audit dalaman, pemantauan berkala oleh kementerian atau mekanisme pelaporan yang sesuai supaya kuasa tersebut sentiasa dilaksanakan.

Dan akhir sekali, saya ingin mengaitkan pindaan ini dengan cabaran keselamatan dalam negara. Usaha membanteras penggubahan wang haram, jenayah kewangan, penyeludupan, sindiket jenayah terancang bergantung kepada keberanian saksi tampil memberi keterangan, tetapi keberanian ini— sikit, sikit sahaja. Saya nak gulung dah.

draft • 2:50 PM

Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng

Sila gulung.

draft • 2:50 PM

Datuk Haji Awang bin Hashim - Pendang

Okey. Keberanian ini hanya lahir apabila mereka yakin bahawa kita benar-benar mampu melindungi mereka. Bukan sahaja ketika perbicaraan berlangsung, bahkan selepas kehidupan mereka berubah akibat kerjasama dengan pihak berkuasa.

Berapakah jumlah peserta program perlindungan saksi sejak akta ini dikuatkuasakan pada tahun 2009 sehingga kini? Berapakah jumlah peserta yang telah ditamatkan daripada program? Berapakah jumlah pegawai perlindungan dan pegawai psikologi yang tersedia bagi melaksanakan pindaan ini? Adakah kerajaan bercadang menyediakan laporan tahunan mengenai pelaksanaan perlindungan saksi kepada Parlimen tanpa menjelaskan kerahsiaan identiti peserta sebagai langkah memperkukuh akauntabiliti?

draft • 2:50 PM

Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng

Terima kasih Yang Berhormat Pendang. Sekarang saya jemput Yang Berhormat Permatang Pauh.

draft • 2:50 PM

Datuk Haji Awang bin Hashim - Pendang

Okey, okey. Terima kasih.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

draft • 2:50 PM

Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng

Permatang Pauh.

draft • 2:50 PM

Tuan Haji Muhammad Fawwaz bin Mohamad Jan - Permatang Pauh

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih Puan Yang di-Pertua atas peluang yang diberikan.

Saya secara asasnya menyokong pindaan Akta Perlindungan Saksi 2009 yang dibentangkan pada hari ini. Cuma ada beberapa persoalan yang mungkin perlu mendapatkan penjelasan daripada pihak kerajaan.

Yang pertama, sejauh manakah keberkesanan program perlindungan saksi setelah lebih 15 tahun dilaksanakan seperti yang dibangkitkan oleh sahabat-sahabat sebentar tadi. Berapakah jumlah saksi yang telah diberikan perlindungan sepanjang tempoh itu? Berapa banyak permohonan diterima, diluluskan ataupun ditolak?

Berapakah jumlah peserta yang telah ditamatkan daripada program? Data ini sebenarnya penting kerana ia membantu Dewan untuk menilai sama ada masalah sebenar berpunca daripada kelemahan undang-undang ataupun kegagalan pada peringkat pelaksanaan.

Yang kedua, fasal 6 bertujuan memasukkan seksyen baru 29A ke dalam Akta 696 bagi memberikan kuasa kepada ketua pengarah untuk mengeluarkan perintah tetap berkaitan pentadbiran dan pelaksanaan program. Pindaan ini memperluas peranan ketua pengarah termasuk menentukan bentuk perjanjian, menguruskan bantuan peralihan setelah penamatan dan mengeluarkan perintah tetap berkaitan operasi program. Dalam hubungan ini, saya nak menarik perhatian Dewan kepada dua insiden yang melibatkan saksi dalam perbicaraan Projek Terowong Dasar Laut Pulau Pinang yang turut melibatkan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang.

Pertama, kes mendiang Datuk Ewe Swee Keng. Berdasarkan laporan prosiding mahkamah, mendiang pernah menyatakan kebimbangan tertentu berkaitan keselamatan dirinya. Namun, apabila ditanya mengenai keperluan perlindungan, beliau dilaporkan tidak meminta untuk dimasukkan ke dalam program perlindungan saksi.

Persoalan saya, adakah pindaan ini memberikan apa-apa kuasa kepada ketua pengarah untuk mewajibkan perlindungan terhadap seorang saksi walaupun saksi tersebut menolak untuk menyertai program? Apakah tindakan yang boleh diambil sekiranya penilaian keselamatan pihak berkuasa mendapati ancaman terhadap seorang saksi ini nyata dan serius, tetapi saksi berkenaan enggan menerima perlindungan?

Kes yang kedua, melibatkan saksi ke-37 juga dalam perbicaraan tersebut, Datuk Seri G. Gnanaraja yang dilaporkan diserang oleh sekumpulan 10 individu pada Ogos tahun lalu. Dalam kejadian pencerobohan tersebut, beliau mendakwa turut menerima amaran, “Jangan jadi hero.” “Duduk rumah diam-diam.” Menurut laporan media, insiden itu menyebabkan beliau gagal untuk memberikan keterangan di mahkamah dan memohon perlindungan di mahkamah sekali gus melambatkan perjalanan perbicaraan. Oleh itu saya ingin bertanya, apakah status dan hasil penuh siasatan terhadap kejadian tersebut?

draft • 2:57 PM

Tuan Haji Muhammad Fawwaz bin Mohamad Jan - Permatang Pauh

Adakah siasatan benar-benar mendapati insiden itu langsung tidak mempunyai kaitan dengan perbicaraan yang sedang berlangsung? Dan berbalik kepada RUU ini, adakah pindaan ini membolehkan Ketua Pengarah memberikan perlindungan secara proaktif atau automatik tanpa menunggu permohonan daripada saksi berdasarkan penilaian risiko, tahap ancaman dan sensitiviti sesuatu kes.

Poin yang ketiga, subfasal 5(a) bertujuan meminda subseksyen 16(1) Akta 696 dengan memasukkan perenggan baru iaitu, “Peserta itu dengan sengaja melanggar mana-mana terma atau syarat perjanjian itu.” Persoalan, apakah tafsiran sebenar bagi frasa “dengan sengaja melanggar”?

Apakah ukuran yang akan digunakan untuk membezakan antara pelanggaran yang dilakukan dengan sengaja, kecuaian, salah faham ataupun kegagalan yang berlaku akibat keadaan di luar kawalan peserta? Adakah unsur sengaja itu akan dinilai dalam sesi pendengaran sebelum keputusan penamatan dibuat? Apakah peserta akan diberi hak mendapatkan penjelasan, mengemukakan bukti dan menjawab segala dakwaan terhadapnya. Yang lebih penting, adakah suatu pelanggaran boleh menyebabkan peserta kehilangan perlindungan walaupun ancaman terhadap nyawa dan keselamatannya masih wujud.

Yang terakhir Puan Yang di-Pertua, program ini kalau kita tengok dia melibatkan saksi daripada kes-kes sensitif, berprofil tinggi dan serius seperti pembunuhan, rasuah, jenayah seksual, pengedaran dadah dan juga jenayah terancang. Persoalannya, sejauh manakah koordinasi antara PDRM, SPRM, Jabatan Penjara, pihak pendakwaan, mahkamah dan Bahagian Perlindungan benar- benar berkesan?

Siapakah yang bertanggungjawab membuat penilaian ancaman?

Bagaimanakah maklumat keselamatan dikongsi antara agensi tanpa mendedahkan identiti dan lokasi? Adakah pernah berlaku kebocoran identiti, lokasi dokumen atau maklumat peribadi seorang saksi sepanjang program ini dilaksanakan sebelum ini?

Sekiranya pernah berlaku, apakah tindakan yang telah diambil dan apa penambahbaikan yang telah dilakukan? Sekian, terima kasih Puan Yang di-Pertua atas peluang yang diberikan.

draft • 3:00 PM

Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng

Terima kasih Yang Berhormat Permatang Pauh. Saya jemput Yang Berhormat Klang.

draft • 3:00 PM

Tuan Ganabatirau a/l Veraman - Klang

Terima kasih Puan Yang di-Pertua.

Sebelum itu saya ingin mengalu-alukan rombongan pelajar-pelajar Tingkatan 6, Sekolah Menengah Batu Kikir, Jempol serta guru seramai 71 orang.

[Tepuk] Selamat datang ke Parlimen, daripada Parlimen Jempol. Terima kasih.

Terima kasih Puan Yang di-Pertua kerana memberikan ruang dan peluang kepada saya untuk mengambil bahagian dalam sesi perbahasan yang amat penting pada hari ini berhubung dengan Rang Undang-undang Perlindungan Saksi

(Pindaan) 2026.

Secara umumnya saya menyambut baik usaha murni kerajaan dalam mengemukakan pindaan terhadap Akta Perlindungan Saksi 2009 atau Akta 696 ini.

Pindaan ini melambangkan suatu pengakuan jelas bahawa sistem keadilan kita perlu bersifat dinamik dan sentiasa peka terhadap keselamatan individu yang sanggup berdiri di kandang saksi demi menegakkan undang-undang negara.

Namun begitu, Puan Yang di-Pertua, sebagai sebuah Dewan perundangan yang bertanggungjawab, menjadi amanah kita untuk meneliti setiap fasal dengan kritikal bagi memastikan tiada kelemahan ketara yang boleh memudaratkan golongan yang ingin kita lindungi ini. Mari kita lihat terlebih dahulu penambahbaikan yang sangat progresif dan inklusif di bawah rang undang-undang ini terutamanya melalui pengenalan peruntukan perlindungan bagi saksi yang tiada keupayaan di sisi undang-undang.

Langkah membolehkan permohonan kemasukan dibuat dan perjanjian ditandatangani ibu bapa atau penjaga bagi pihak saksi yang belum mencapai umur 18 tahun atau tiada keupayaan di bawah subseksyen 7(3) dan subseksyen 10A adalah satu pembaharuan yang amat berperikemanusiaan. Selama ini kekangan undang-undang dalam proses persetujuan perjanjian formal sering kali merumitkan penyertaan saksi daripada golongan rentan dan pindaan ini berjaya menutup lompang berkenaan.

Begitu juga dengan pengenalan bantuan psikologi dan kaunseling di bawah subseksyen 13(2) yang membuktikan kerajaan mula menyedari bahawa trauma mental dan tekanan emosi saksi berprofil tinggi memerlukan rawatan yang sama rapi dengan aspek keselamatan fizikal mereka. Malah pemberian kuasa kepada Ketua Pengarah untuk meneruskan bantuan pasca penamatan program melalui subseksyen 16(12) dan 16(13) seperti penempatan semula, bantuan kewangan dan penempatan pekerjaan merupakan satu jaring keselamatan sosial yang sangat murni demi memudahkan peralihan selamat peserta ke suatu kehidupan yang baru.

Namun di sebalik penambahbaikan yang diuar-uarkan ini Puan Yang di- Pertua, terdapat beberapa kelemahan asas dan kekhuatiran besar yang wajib diperjelaskan oleh pihak kementerian sebelum rang undang-undang ini diluluskan.

Kelemahan pertama yang paling kritikal adalah berkaitan dengan isu pertembungan kepentingan dalam kalangan penjaga kanak-kanak dan individu tiada keupayaan di bawah subseksyen 10A. Peruntukan ini mewajibkan ibu bapa atau penjaga menandatangani perjanjian perlindungan bagi saksi di bawah 18 tahun atau mereka yang tiada keupayaan di sisi undang-undang.

Persoalannya, bagaimana jika ibu bapa atau penjaga itu sendiri adalah suspek, pendera atau individu yang terlibat dalam kes jenayah yang sedang disiasat?

Sekiranya mereka yang mempunyai kepentingan jenayah ini enggan menandatangani perjanjian tersebut ia akan menyebabkan saksi kanak-kanak atau individu rentan ini dinafikan hak perlindungan secara automatik. RUU ini didapati sangat lemah kerana langsung tidak menyediakan pelan kecemasan seperti membenarkan wakil bebas, pegawai kebajikan masyarakat atau penjaga ad litem yang dilantik mahkamah untuk menandatangani perjanjian itu demi memelihara nyawa saksi berkenaan.

Kelemahan kedua yang amat membimbangkan saya adalah mekanisme pembatalan perlindungan yang terkandung dalam seksyen 16 subseksyen (1) menerusi perenggan baharu (ca). Pindaan ini membenarkan penamatan perlindungan dibuat sekiranya peserta didapati dengan sengaja melanggar mana- mana terma atau syarat perjanjian yang telah ditandatanganinya.

Puan Yang di-Pertua, perkataan “dengan sengaja” ini tersenyum luas dengan ketidakpastian undang-undang. Apakah kayu ukur mutlak yang akan digunakan untuk membuktikan niat sengaja tersebut dan siapakah pihak bebas yang bertindak sebagai badan yang semak dan imbang untuk menilai keputusan penamatan ini?

Kita tidak mahu melihat situasi di mana seorang saksi utama yang nyawanya terancam dibatalkan perlindungannya secara sepihak atau serta-merta disebabkan oleh pelanggaran teknikal yang remeh dalam perjanjian lalu membiarkan keselamatan diri dan keluarga mereka terdedah kepada ancaman jenayah.

Kelemahan ketiga yang juga perlu diberi perhatian ialah kewujudan seksyen baharu 29A yang memberikan kuasa penuh kepada Ketua Pengarah untuk mengeluarkan perintah tetap.

draft • 3:02 PM

Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng

Sila gulung.

draft • 3:02 PM

Tuan Ganabatirau a/l Veraman - Klang

Dua minit.

draft • 3:02 PM

Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng

Sila gulung.

draft • 3:02 PM

Tuan Ganabatirau a/l Veraman - Klang

Walaupun kita memahami keperluan birokrasi untuk memperkemas tugasan pegawai, pemusatan kuasa mutlak tanpa ketelusan, penerbitan perintah tetap tersebut boleh membuka ruang kepada salah guna kuasa atau salah tafsiran pelaksanaan program di peringkat operasi.

Oleh yang demikian Puan Yang di-Pertua, saya mendesak pihak Yang Berhormat Menteri untuk memberikan penjelasan tuntas menetapkan wakil penandatangani alternatif bagi melindungi saksi kanak-kanak daripada penjaga yang bermasalah. Mewujudkan garis panduan rayuan yang telus bagi kes penamatan program dan memperincikan tadbir urus perintah tetap tersebut.

Kita mahu sebuah undang-undang bukan sahaja gagah di Parlimen, tetapi benar-benar utuh melindungi nyawa rakyat di luar sana. Dengan ulasan dan teguran ini Puan Yang di-Pertua, saya memohon menyokong Rang Undang-undang Perlindungan Saksi (Pindaan) 2026 sekiranya kelemahan ini diatasi segera. Terima kasih.

draft • 3:02 PM

Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng

Terima kasih Yang Berhormat Klang. Saya jemput Yang Berhormat Padang Serai.

draft • 3:02 PM

Dato' Azman bin Nasrudin - Padang Serai

*Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Tuan Yang di-Pertua, saya turut serta pada hari ini selaku Ahli Parlimen Bersatu untuk turut serta dalam perbahasan RUU pindaan Akta Perlindungan Saksi 2009 [Akta 696*]. Sebagai sebuah blok yang sentiasa meletakkan tadbir urus yang terbaik, integriti dan kedaulatan undang- undang sebagai paksi perjuangan, kita harus melihat pindaan ini dengan mata yang kritis.

Perlindungan saksi bukan sekadar soal prosedur jenayah, ia adalah jantung kepada sistem keadilan negara. Tanpa saksi yang berani dan dilindungi, penjenayah kolar putih, kartel rasuah dan dalang jenayah terancang akan terus bebas menongkah hukum.

draft • 3:09 PM

Dato' Azman bin Nasrudin - Padang Serai

Tuan Yang di-Pertua, Akta 696 yang digubal pada tahun 2009 sudah berusia hampir dua dekad. Landskap jenayah hari ini telah berubah secara drastik. Mengapa kita perlu meminda akta ini sekarang?

Yang pertama, ancaman siber dan era digital. Pada tahun 2009, ancaman fizikal seperti ugutan bersenjata adalah fokus utama. Hari ini saksi berhadapan dengan doxing, pendedahan identiti di media sosial, penggodaman data peribadi dan buli siber yang sistematik. Struktur lama Akta 696 tidak mempunyai ekosistem yang cukup tangkas untuk mengekang ancaman maya ini.

Birokrasi prosedur kemasukan (admission red tape). Sebelum ini proses untuk seseorang saksi itu diterima masuk dalam program perlindungan saksi memakan masa yang lama kerana perlu melalui rantaian kelulusan birokrasi yang tebal. Dalam kes jenayah berprofil tinggi, kelewatan 24 jam boleh membezakan antara hidup dan mati seseorang saksi. Pindaan ini dibuat untuk memotong rantaian birokrasi tersebut.

Ketidakseimbangan autonomi agensi penguatkuasaan. Unit perlindungan saksi selama ini terlalu berpusat dan bergantung secara predominant kepada pihak eksekutif atau agensi tunggal. Pindaan ini diperlukan untuk memberikan lebih autonomi dan fleksibiliti operasi. Terutamanya apabila kes yang disiasat melibatkan orang dalam ataupun jerung besar dalam institusi kerajaan sendiri.

Tuan Yang di-Pertua, sekiranya pindaan ini dilaksanakan dengan betul, ia akan membawa anjakan paradigma yang sangat besar kepada landskap perjuangan, landskap perundangan dan kehakiman Malaysia. Keadilan tidak boleh ditegakkan sekiranya mereka yang membawa kebenaran hidup dalam ketakutan.

Yang pertama, meningkatkan kadar sabitan kes impak yang tinggi (high profile conviction rate). Apabila saksi mempunyai keyakinan 100 peratus bahawa keselamatan fizikal, kerjaya dan keluarga mereka dijamin secara mutlak oleh undang-undang, mereka tidak akan berpaling tadah (hostile witness) di kandang saksi. Ini secara langsung memperkasakan pendakwaan.

Yang kedua, melonjakkan kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI). Isu ketakutan menjadi saksi antara batu penghalang utama dalam memerangi rasuah institusi. Pindaan yang progresif ini menghantar isyarat jelas kepada komuniti antarabangsa dan pelabur asing bahawa Malaysia serius membina ekosistem perundangan yang telus dan selamat.

Yang ketiga, peluasan definisi saksi yang lebih inklusif. Pindaan ini memperluaskan takrifan saksi bukan sahaja kepada individu yang memberikan keterangan di mahkamah tetapi juga merangkumi ahli keluarga terdekat dan pemberi maklumat (whistleblowers) pada peringkat pra-siasatan yang terdedah kepada bahaya.

Namun, Tuan Yang di-Pertua sebagai pembangkang yang bertanggungjawab, kita tidak boleh sekadar menjadi rubberstamp kepada usul kerajaan. Kami melihat ada beberapa kelemahan dan lompang risiko yang wujud akibat frasa-frasa baharu dalam pindaan ini. Implikasi kepada kewangan dan kekangan belanjawan (budgetary constraint). Pindaan ini menjanjikan perlindungan yang lebih komprehensif termasuk penempatan semula (relocation) dan pertukaran identiti baharu yang menyeluruh.

Persoalannya, adakah dana sedia ada mencukupi? Tanpa peruntukan kewangan yang khas yang mandatori, pindaan ini hanya akan menjadi macam singa atas kertas, hebat ditulis tapi lemah dari segi pelaksanaan logistik.

Yang kedua, risiko salah guna kuasa dan double standard. Pindaan ini memberi kuasa budi bicara yang lebih luas kepada Ketua Pengarah atau Menteri untuk menentukan siapa yang layak mendapat perlindungan pantas. Kita bimbang wujudnya diskriminasi politik di mana saksi yang menguntungkan pihak kerajaan diberikan perlindungan karpet merah, manakala saksi yang membabitkan kes-kes penyelewengan sebelah sana dianaktirikan.

Yang ketiga, kekurangan mekanisme semak dan imbang (check and balance). Apabila kita memberikan kuasa operasi yang terlalu besar dan imuniti tambahan kepada agensi perlindungan di bawah pindaan ini, di manakah ketelusannya? Sekiranya permohonan saluran saksi ditolak secara tidak adil, tiada tribunal bebas atau mahkamah rayuan khas yang diperuntukkan dalam pindaan ini untuk saksi tersebut untuk menuntut keadilan.

Sebagai penutup perbahasan ini Tuan Yang di-Pertua, saya ingin mengemukakan beberapa syor penambahbaikan yang konstruktif untuk dipertimbangkan oleh pihak kementerian dan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen.

Yang pertama penubuhan Lembaga Rayuan Perlindungan Saksi Independent. Sila wujudkan satu badan bebas yang dianggotai oleh bekas hakim dan wakil masyarakat sivil. Jika permohonan perlindungan saksi ditolak oleh agensi, saksi tersebut mesti mempunyai hak undang-undang untuk merayu kepada lembaga bebas ini dalam tempoh 48 jam.

Yang kedua, dana autonomi luar belanjawan (standalone fund). Kerajaan mesti mewujudkan Kumpulan Wang Amanah Perlindungan Saksi yang diletakkan di bawah seliaan Parlimen. Bukan di bawah kawalan penuh Kementerian Kewangan atau Kementerian Dalam Negeri. Ini bagi memastikan operasi melindungi saksi berprofil tinggi tidak diganggu atau disabotaj menerusi pemotongan bajet.

Yang ketiga, perlindungan kerjaya dan hak sosioekonomi saksi. Pindaan tidak sepatutnya hanya menjaga keselamatan fizikal. Apabila saksi berhenti kerja atau berpindah, pindaan ini mesti mewajibkan skim pampasan sara hidup yang setaraf dengan pendapatan asal mereka sehingga kes selesai serta jaminan perlindungan daripada tindakan tatatertib oleh majikan korporat ataupun kerajaan.

Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.

draft • 3:10 PM

Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng

Terima kasih Yang Berhormat Padang Serai. Saya jemput Yang Berhormat Sabak Bernam.

draft • 3:10 PM

Tuan Kalam bin Salan - Sabak Bernam

Assalamualaikum warahmatullahi ta’ala wabarakatuh dan selamat sejahtera. Tuan Yang di-Pertua, saya ingin mengambil bahagian dalam membahaskan fasal 2 Rang Undang-undang Perlindungan Saksi (Pindaan) 2026 yang bertujuan untuk membolehkan permohonan menyertai program perlindungan saksi dibuat oleh ibu bapa atau penjaga bagi seorang saksi yang tiada keupayaan di sisi undang-undang selain saksi yang berumur di bawah 18 tahun.

Tuan Yang di-Pertua, pada prinsipnya saya menyokong pindaan ini kerana ia melindungi golongan yang paling rentan dalam masyarakat. Mereka juga berhak mendapat perlindungan undang-undang apabila tampil membantu keadilan.

Saya menyambut baik pindaan fasal 2, yang mana membolehkan ibu bapa atau penjaga membuat permohonan menyertai program perlindungan saksi bagi individu yang tiada keupayaan di sisi undang-undang. Ini merupakan satu langkah yang lebih berperikemanusiaan. Golongan kurang upaya dari segi mental dan intelektual juga mempunyai hak untuk dilindungi apabila mereka menjadi saksi sesuatu kes ataupun jenayah.

Namun begitu, saya ingin mencadangkan supaya tiada keupayaan di sisi undang-undang diberi takrif yang lebih jelas. Jangan sampai timbul ruang yang boleh disalahgunakan oleh mana-mana pihak. Bak kata orang tua-tua, biar terang lagi bersuluh. Undang-undang yang jelas akan mengelakkan pertikaian pada masa hadapan.

Selain itu, adalah wajar setiap permohonan yang dibuat oleh penjaga disokong dengan penilaian profesional atau dokumen yang sewajarnya agar berkepentingan sebenar saksi sentiasa menjadi keutamaan.

Tuan Yang di-Pertua, namun begitu saya ingin mendapatkan penjelasan daripada Yang Berhormat Menteri mengenai mekanisme. Apakah mekanisme yang akan digunakan untuk menentukan seseorang itu benar-benar tiada keupayaan di sisi undang-undang?

Mengapa saya membangkitkan perkara ini? Kerana dalam sistem perundangan negara, soal keupayaan seseorang memahami kesan undang-undang bukanlah perkara baharu. Izinkan saya memberi contoh Yang Berhormat Menteri, sebagai contoh Kaedah-kaedah Pesuruhjaya Sumpah 2018 telah menyediakan perlindungan yang jelas melalui penggunaan jurat.

Di bawah kaedah 11 khususnya subseksyen 11(3) dalam Borang 8 Jadual Ketiga Kaedah-kaedah Pesuruhjaya Sumpah 2018, penggunaan jurat diwajibkan apabila seorang yang membuat akuan tidak memahami bahasa dokumen, buta huruf atau mempunyai kecacatan seperti buta, pekak, bisu sehingga kandungan dokumen perlu dibaca dan diterangkan kepadanya.

Dalam keadaan sedemikian, jurat adalah pengesahan bahawa kandungan dokumen yang telah dibaca itu diterangkan kepada orang yang berkenaan dalam bahasa yang difahami dan pengesahan itu pula ditandatangani oleh pesuruhjaya sumpah, contoh.

Ini menunjukkan sistem undang-undang kita amat berhati-hati dalam memastikan seseorang benar-benar memahami implikasi undang-undang sebelum sesuatu tindakan atau dokumen diiktiraf.

Justeru, saya ingin bertanya kepada Yang Berhormat Menteri, adakah bagi pelaksanaan fasa ini kerajaan akan menetapkan suatu mekanisme pengesahan yang jelas seperti laporan pakar psikiatri, psikologi, klinikal atau perintah mahkamah sebelum seseorang disifatkan sebagai tiada keupayaan di sisi undang-undang.

Ini penting supaya ibu bapa atau penjaga benar-benar bertindak demi kepentingan terbaik saksi dan tidak membuka ruang kepada penyalahgunaan. Bak kata pepatah, biar terang lagi bersuluh. Takrif yang jelas dan prosedur yang telus akan mengelakkan pertikaian serta memastikan hak golongan rentan benar-benar terpelihara, Yang Berhormat Menteri.

draft • 3:15 PM

Tuan Kalam bin Salan - Sabak Bernam

Tuan Yang di-Pertua, niat pindaan ini amat baik namun undang-undang yang baik bukan sahaja mempunyai matlamat yang mulia bahkan mesti disokong oleh prosedur yang jelas, mekanisme yang jelas, telus dan adil seperti kata pepatah, “Sediakan payung sebelum hujan.” Lebih baik kita memperincikan mekanisme pelaksanaan sekarang daripada menunggu hingga timbul pertikaian pada masa hadapan Yang Berhormat Menteri. Dengan itu Sabak Bernam mohon menyokong.

Terima kasih.

draft • 3:20 PM

Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng

Terima kasih Yang Berhormat Sabak Bernam. Saya jemput Yang Berhormat Kota Belud. Kota Belud tidak ada di dalam Dewan. Saya jemput Yang Berhormat Sik.

draft • 3:20 PM

Tuan Ahmad Tarmizi bin Sulaiman - Sik

Assalamualaikum warahmatullah. Salam sejahtera. Terima kasih Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua, terima kasih Yang Berhormat Timbalan Menteri.

Petang ini saya juga bersama dengan Perbahasan Rang Undang-undang Perlindungan Saksi (Pindaan) 2026 dan secara prinsipnya saya menyokong RUU ini kerana saya percaya bahawa sistem keadilan di mahkamah kita tidak akan dapat berfungsi dengan berkesan sekiranya saksi itu hidup di dalam keadaan ketakutan.

Tanpa saksi yang berani tampil memberikan keterangan, maka sukar untuk pihak pendakwaan membuktikan kes seterusnya untuk menegakkan keadilan.

Akta Perlindungan Saksi 2009 [Akta 696] ini yang digubal bagi menangani ancaman terhadap saksi, penting bagi memastikan keselamatan mereka melalui Program Perlindungan Saksi ini dan hari ini kerajaan telah membuat beberapa pindaan untuk memperkukuhkan RUU ini. Dan kita hargai usaha yang telah dibuat termasuk melibatkan— libat urus bersama kementerian, agensi penguatkuasaan, NGO dan pihak-pihak yang lain.

Tuan Yang di-Pertua, walaupun saya menyokong prinsip RUU ini, saya ingin mengemukakan beberapa perkara yang perlu diberi perhatian yang serius oleh pihak kerajaan.

Yang pertama persoalan saya, adakah pindaan ini benar-benar menjawab cabaran sebenar perlindungan saksi yang kita telah bangkitkan dalam perbahasan di sini. Kerajaan menyatakan objektif pindaan ini ialah memperluaskan akses kepada program, memperkukuh tadbir urus, meningkatkan kebajikan peserta serta menyediakan bantuan selepas peserta keluar daripada program.

Namun saya berpandangan bahawa cabaran sebenar bukan sekadar isu pentadbiran. Cabaran sebenar ialah ancaman bunuh, intimidasi, gangguan kepada ahli keluarga, kebocoran identiti, ugutan melalui media sosial serta tekanan daripada sindiket jenayah dan individu yang berkepentingan.

Jadi kerajaan sendiri mengakui bahawa perlindungan Program Perlindungan Saksi kini melibatkan kes-kes berprofil tinggi seperti kes pembunuhan di bawah seksyen 302 Kanun Keseksaan, pengedaran dadah di bawah seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya dan juga berkaitan dengan jenayah terancang di bawah SOSMA termasuk isu penculikan, rasuah serta jenayah seksual.

Oleh itu, saya ingin bertanya kepada Yang Berhormat Menteri. Yang pertama, berapakah jumlah permohonan menyertai program sejak tahun 2010 yang lalu?

Yang kedua berapakah yang telah diluluskan? Yang ketiga berapa yang telah ditolak? Seterusnya berapakah peserta yang telah ditamatkan? Dan soalan juga, adakah pernah berlaku peserta program masih menerima ancaman serius atau menjadi mangsa jenayah ketika berada di bawah perlindungan kerajaan? Tanpa statistik yang— prestasi ini sukar untuk Dewan kita hari ini menilai sama ada pindaan ini benar-benar meningkatkan keberkesanan Akta 696 ini.

Kedua, saya menyokong fasal 2 yang meminda subseksyen 7(3), iaitu pindaan ini membolehkan ibu bapa atau penjaga membuat permohonan bagi pihak saksi dewasa yang tidak mempunyai keupayaan undang-undang seperti individu yang mengalami ketidakupayaan intelektual atau gangguan spektrum autisme yang disebut oleh beberapa Ahli Dewan yang tadi. Ini merupakan langkah yang amat baik kerana sebelum ini kemudahan tersebut hanya diberikan kepada saksi yang berumur di bawah 18 tahun.

Jadi saya ingin juga bertanya apakah mekanisme yang akan digunakan bagi menentukan seseorang yang benar-benar tidak mempunyai undang-undang ini?

Dan adakah ia memerlukan pengesahan mahkamah atau memadai dengan laporan pegawai perubatan kerajaan? Perkara ini perlu diperjelaskan bagi mengelakkan salah guna kuasa atau pertikaian pada masa depan.

Yang ketiga Yang Berhormat Menteri, berkaitan fasal 3 yang memperkenalkan seksyen baharu 10A dan 10B. Dan saya bersetuju dengan cadangan supaya setiap peserta program diwajibkan menandatangani satu perjanjian rasmi dengan kerajaan. Ini kerana sebelum ini amalan tersebut hanya dibuat secara pentadbiran tanpa diperuntukkan secara jelas dalam akta. Dan juga saya ingin bertanya adakah peserta akan diberi peluang mendapatkan nasihat guaman sebelum menandatangani perjanjian tersebut? Adakah kandungan perjanjian itu mengandungi format standard supaya hak dan tanggungjawab kedua- dua pihak benar-benar difahami.

Dan yang keempat, iaitu fasal ke-5, pindaan ini masukkan perenggan baharu 16(1)(ca), ia membolehkan seseorang peserta ditamatkan daripada program sekiranya melanggar syarat perjanjian. Kita memahami soal keperluan disiplin dalam program namun saya ingin bertanya. apakah bentuk pelanggaran yang dianggap cukup serius sehingga perlindungan boleh ditarik balik?

Dan seterusnya Yang Berhormat Menteri, saya ingin juga menyentuh berkaitan dengan mungkin kita lihat pengalaman-pengalaman di negara lain yang telah laksanakan program ini termasuk di Amerika Syarikat dan program Witness Security Program yang diwujudkan sejak tahun 1970 bukan sahaja memberi perlindungan fizikal malah menyediakan identiti baharu, pendapatan semula, bantuan kewangan sementara dan perlindungan kepada ahli keluarga saksi. Begitu juga di Australia, Witness Protection Act 1994 yang membenarkan perubahan identiti, dokumen rasmi baharu dan kerjasama antara Kerajaan Persekutuan serta negeri dalam melindungi saksi.

Jadi dalam pengalaman negara- negara ini menunjukkan bahawa perlindungan saksi bukan lagi semata-mata soal keselamatan fizikal, tetapi melibatkan perlindungan identiti, keselamatan digital, kebajikan keluarga, pemulihan psikologi serta jaminan kehidupan selepas perbicaraan selesai.

Justeru, saya ingin mencadangkan yang terakhir Yang Berhormat Tuan Speaker supaya kerajaan pada masa hadapan turut untuk mempertimbangkan secara ringkasnya empat perkara.

Yang pertama iaitu memperkenalkan perlindungan terhadap ancaman digital dan kebocoran identiti peserta.

Yang kedua memperluaskan penggunaan keterangan melalui pautan video bagi mengurangkan risiko pendedahan saksi.

Yang ketiga membentangkan laporan tahunan program perlindungan saksi tanpa mendedahkan identiti peserta dan yang keempat menyelaraskan Akta Perlindungan Saksi dengan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 supaya pemberi maklumat yang menjadi saksi turut menerima perlindungan yang lebih menyeluruh.

Akhir sekali Tuan Yang di-Pertua, keberanian seorang saksi ialah keberanian mempertahankan keadilan negara. Negara mempunyai tanggungjawab moral dan undang-undang untuk memastikan mereka tidak dibiarkan bersendirian selepas tampil membantu proses keadilan. Saya menyokong RUU ini untuk dibaca. Sekian, terima kasih.

draft • 3:20 PM

Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng

Terima kasih Yang Berhormat Sik. Saya jemput Yang Berhormat Padang Rengas.

draft • 3:20 PM

Kapten Azahari bin Hasan - Padang Rengas

*Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum warahmatullahi* wabarakatuh dan salam sejahtera. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua kerana memberi ruang kepada Padang Rengas untuk mengambil bahagian dalam Perbahasan Rang Undang-undang Perlindungan Saksi

(Pindaan) 2026.

Pada asasnya, saya melihat pindaan ini mempunyai niat yang baik untuk memperkukuhkan Program Perlindungan Saksi khususnya dalam memastikan saksi yang membantu proses keadilan diberikan perlindungan yang lebih menyeluruh.

Antaranya termasuk memperluaskan akses kepada saksi yang tidak mempunyai keupayaan undang-undang, mewajibkan perjanjian antara peserta dengan kerajaan, menyediakan bantuan psikologi, bantuan peralihan selepas penamatan program dan memperkemaskan tadbir urus melalui perintah-perintah tetap.

Kesemua objektif ini memang dinyatakan dalam taklimat kerajaan. Namun begitu, sebagai Ahli Parlimen pembangkang saya bertanggungjawab, kita perlu memastikan setiap kausa baharu yang diberikan benar-benar disertakan dengan mekanisme semak dan imbang.

Pertama, saya menyokong cadangan membolehkan ibu bapa atau penjaga membuat permohonan bagi pihak saksi yang tidak mempunyai keupayaan undang- undang. Ini merupakan satu pindaan yang bersifat inklusif kerana sebelum ini peruntukan hanya meliputi saksi di bawah umur 18 tahun, tetapi saya ingin bertanya kepada Menteri, apakah mekanisme penilaian yang akan digunakan bagi menentukan seseorang itu benar-benar tidak mempunyai keupayaan undang- undang? Adakah berdasarkan pengesahan pakar psikatri kerajaan? Adakah terdapat prosedur rayuan sekiranya berlaku pertikaian? Perkara ini perlu jelas supaya tidak timbul penyalahgunaan.

Kedua. mengenai perjanjian wajib antara peserta program dan kerajaan.

Saya bersetuju bahawa hubungan antara peserta dan kerajaan perlu mempunyai asas undang-undang yang lebih kukuh.

draft • 3:27 PM

Kapten Azahari bin Hasan - Padang Rengas

Namun, saya ingin mendapatkan jaminan bahawa kandungan perjanjian tersebut tidak akan terlalu berat sebelah sehingga meletakkan semua tanggungjawab kepada saksi sedangkan mereka ialah individu yang membantu sistem keadilan negara. Adakah peserta diberi, diberikan peluang mendapatkan nasihat guaman sebelum menandatangani perjanjian tersebut?

Tuan Yang di-Pertua, ketiga, saya mengalu-alukan cadangan memasukkan bantuan psikologi dan kaunseling kepada peserta program. Ramai saksi dalam kes bunuh jenayah terancang, rasuah, pengedaran dadah dan jenayah seksual mengalami trauma yang serius.

Namun persoalannya, adakah kerajaan telah menyediakan peruntukan kewangan yang mencukupi? Berapa ramai pegawai psikologi yang akan ditempatkan? Jangan sampai pindaan ini cantik atas kertas, tetapi gagal dilaksanakan kerana kekurangan sumber manusia dan bajet.

Keempat, saya ingin menyentuh mengenai kuasa menamatkan penyertaan program sekiranya peserta melanggar syarat perjanjian. Memang kita faham disiplin perlu dipatuhi, tetapi apakah bentuk pelanggaran yang dianggap serius? Adakah peserta diberi hak untuk didengar terlebih dahulu? Adakah terdapat mekanisme semakan bebas sebelum sesuatu keputusan dibuat oleh Peguam Negara? Prinsip keadilan asasi atau natural justice hendaklah sentiasa dipelihara.

Kelima, saya ingin menyambut baik pemberian bantuan secara sekali beri kepada peserta yang keluar daripada program. Ini penting kerana mereka perlu memulakan kehidupan baharu dengan selamat. Namun, kerajaan perlu menjelaskan kadar bantuan tersebut, tempoh pelindungan selepas penamatan, serta bagaimana keberkesanan akan dipantau? Jangan sampai seseorang yang pernah menjadi saksi penting, akhirnya terdedah semula kepada ancaman sebaik saja keluar daripada program.

Akhir sekali Tuan Yang di-Pertua, mengenai kuasa Ketua Pengarah mengeluarkan perintah-perintah tetap. Saya memahami fleksibiliti pentadbiran slaid taklimat RUU Perlindungan Saksi (Pindaan) 2026, tetapi saya ingin mencadangkan supaya perintah-perintah tetap yang melibatkan dasar penting hak peserta atau prosedur operasi utama dimaklumkan kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen atau sekurang-kurangnya dibentangkan kepada Parlimen secara berkala. Ini bagi memastikan kuasa pentadbiran tidak berkembang tanpa pemantauan legislatif.

Tuan Yang di-Pertua, saksi merupakan tulang belakang kepada sistem keadilan jenayah. Tanpa keberanian mereka tampil memberikan keterangan, banyak kes jenayah berat tidak akan berjaya dibuktikan di mahkamah.

Oleh itu, pelindungan kepada saksi mestilah benar-benar berkesan, telus dan mendapat keyakinan rakyat. Dengan semangat tersebut, saya menyatakan sokongan kepada prinsip pindaan ini. Namun, kerajaan perlu memberikan penjelasan terhadap beberapa perkara yang saya bangkitkan agar akta ini bukan saja lebih komprehensif malah lebih adil, telus dan berkesan dalam pelaksanaannya.

Sekian, terima kasih.

draft • 3:30 PM

Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng

Terima kasih Yang Berhormat Padang Rengas. Sekarang saya minta Yang Berhormat Timbalan Menteri untuk menjawab. Masa 20 minit.

draft • 3:30 PM

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) - Tuan M. Kulasegaran a/l V. Murugeson

Terima kasih Puan Yang di-Pertua. Bagi pihak Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), saya ingin mengucapkan setinggi penghargaan kepada 13 Ahli Yang Berhormat yang telah menyertai perbahasan ke atas Rang Undang-undang Perlindungan Saksi (Pindaan) 2026.

Yang Berhormat Besut, Yang Berhormat Jerlun dan Yang Berhormat-Yang Berhormat, ramai di antaranya telah membangkitkan tentang fasal tiada keupayaan di sisi undang-undang dan juga hak perlindungan orang kurang upaya.

Puan Yang di-Pertua, bagi menjawab soalan ini, kerajaan ingin menjelaskan bahawa pindaan ini bertujuan memperluaskan akses kepada program perlindungan saksi supaya permohonan boleh dibuat bagi pihak seseorang saksi yang tiada keupayaan di sisi undang-undang melalui ibu bapa atau penjaganya.

Tujuan pindaan ini adalah untuk memastikan golongan yang tidak berupaya menguruskan urusan perundangan seperti tidak terhalang daripada mendapat perlindungan di bawah program ini. Fasal tiada keupayaan di sisi undang-undang tidak diperkenalkan bagi menentukan kompetensi seseorang untuk memberikan keterangan di mahkamah. Sebaliknya, fasal tersebut digunakan bagi maksud pentadbiran program perlindungan saksi iaitu bagi membolehkan ibu bapa atau penjaga bertindak bagi pihak saksi dalam urusan permohonan dan perlaksanaan perjanjian dengan kerajaan.

Berhubung persoalan sama ada seseorang yang mengalami astigma autism, kelewatan perkembangan atau keadaan lain termasuk dalam kategori tersebut.

Bahagian Perlindungan Jabatan Perdana Menteri akan meminta ibu atau bapa atau penjaga mengemukakan laporan perubatan atau penilaian klinikal daripada pakar perubatan atau pakar psikiatri berhubung keadaan saksi itu semasa permohonan itu dibuat. Seterusnya, penentuan akan dibuat berdasarkan fakta dan keadaan setiap kes dengan mengambil kira maklumat yang berkaitan termasuk penilaian klinikal daripada pakar perubatan dan pakar psikiatri yang bersesuaian.

Puan Yang di-Pertua, pada masa yang sama, isu kompetensi saksi untuk memberikan keterangan di mahkamah adalah perkara yang berbeza dan kekal tertakluk kepada undang-undang keterangan yang berkuat kuasa sebagaimana yang diperuntukkan di bawah seksyen 118 Akta Keterangan 1950, penentuan sama ada seseorang saksi kompeten untuk memberikan keterangan merupakan bidang kuasa mahkamah dan dibuat berdasarkan keupayaan saksi memahami soalan serta memberikan jawapan yang rasional.

Oleh itu, keputusan Ketua Pengarah untuk menerima seseorang ke dalam program perlindungan saksi bukanlah satu penentuan mengenai kompetensi saksi di mahkamah sahaja dan tidak menjejaskan kuasa mahkamah untuk membuat penilaian sendiri di bawah Akta Keterangan 1950. Penentuan kemasukan ke dalam program adalah berdasarkan pertimbangan dan penilaian di bawah seksyen 9, Akta 696 oleh Ketua Pengarah merangkumi berbagai faktor termasuk keseriusan, kesalahan, kepentingan, keterangan saksi dan ancaman keselamatan yang dihadapi oleh saksi sebelum membuat syor kepada Peguam Negara untuk keputusan sama ada saksi itu layak dilindungi di bawah program perlindungan saksi atau tidak.

Puan Yang di-Pertua, kerajaan ingin menjelaskan berhubung isu yang dibangkitkan mengenai hak rayuan bagi peserta yang tidak keupayaan di sisi undang-undang termasuk persoalan sama ada pihak ketiga boleh mengemukakan rayuan bagi pihak peserta sekiranya wujud konflik kepentingan antara peserta dengan ibu bapa atau penjaganya.

Dalam hal ini, subseksyen 16(8) akta ini hanya memperuntukkan bahawa rayuan terhadap keputusan penamatan seksyen program boleh dikemukakan oleh peserta sendiri atau bagi peserta yang berumur di bawah 18 tahun atau yang tiada keupayaan di sisi undang-undang oleh ibu bapa, oleh ibu atau bapanya atau penjaganya. Oleh itu, akta ini tidak memperuntukkan mana-mana pihak ketiga untuk mengemukakan rayuan bagi pihak peserta.

Isu berkaitan dengan peruntukan mandatori untuk mewajibkan peruntukan mandatori bagi persidangan tertutup. Yang Berhormat Besut dan Yang Berhormat- Yang Berhormat yang lain membangkitkan isu berkenaan dengan pewujudan peruntukan mandatori bagi persidangan bertutup.

Puan Yang di-Pertua, akta ini merupakan satu undang-undang yang bertujuan untuk menyediakan mekanisme perlindungan dan bantuan kepada saksi yang menghadapi ancaman sebelum, semasa dan selepas prosedur. Akta ini tidak bertujuan mengawal tatacara pengendalian prosiding mahkamah dan, atau menggantikan bidang kuasa mahkamah dalam menguruskan perjalanan sesuatu perbicaraan.

Dalam hal ini, langkah-langkah seperti perbicaraan secara tertutup, pemberian keterangan di sebalik penghadang melalui muatan video atau apa-apa langkah perlindungan semasa prosiding telah pun diperuntukkan di bawah seksyen 20 akta ini serta undang-undang lain yang berkaitan dan tertakluk kepada penilaian serta budi bicara mahkamah mengikut fakta atau keperluan setiap kes.

draft • 3:33 PM

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) - Tuan M. Kulasegaran a/l V. Murugeson

Pendekatan ini adalah disengajakan kerana keperluan perlindungan saksi atau berbeza-beza mengikut jenis kes tahap ancaman, umur, keadilan, fizikal atau mental saksi serta kepentingan memastikan hak semua pihak mendapat perbicaraan yang adil. Oleh itu, undang-undang tidak menetapkan langkah tersebut secara mandatori bagi semua kes, sebaliknya membolehkan mahkamah menentukan langkah yang paling sesuai berdasarkan keadaan sesuatu kes.

Walau bagaimanapun, sekiranya seorang saksi diterima masuk ke dalam Program Perlindungan Saksi, ketua pengarah akan bekerjasama rapi dengan agensi penyiasatan, pihak pendakwaan dan mahkamah bagi memastikan langkah perlindungan yang bersesuaian di pohon dan dipertimbangkan oleh mahkamah apabila diperlukan.

Yang Berhormat Besut lagi pula. Yang Berhormat Besut, Yang Berhormat Jerlun, Yang Berhormat Kepong dan lain-lain Yang Berhormat membangkitkan mengenai isu pemahaman understanding perjanjian di bawah fasal 3.

Puan Yang di-Pertua, fasal 3 sekadar memperuntukkan bahawa ibu bapa atau penjaga menandatangani perjanjian bagi pihak peserta sebelum sesuatu perjanjian ditandatangani pegawai Program Perlindungan Saksi akan memperkenalkan penjelasan— saksi akan memberikan penjelasan mengenai terma, syarat, hak, tanggungjawab serta implikasi penyertaan dalam program kepada ibu bapa atau penjaga semasa siasatan terhadap permohonan dijalankan.

Selain itu, sekiranya seksyen baru 10A turut diperuntukkan bahawa perjanjian hendaklah di tandatangani di bawah pegawai yang memegang atau menyandang jawatan yang ditentukan oleh ketua pengarah. Keperluan ini merupakan satu mekanisme kawal selia bagi memastikan kandungan perjanjian dijelaskan dengan sewajarnya dan bahawa persetujuan diberikan secara sukarela serta dimaklumkan. Sekiranya ibu bapa atau penjaga memerlukan penjelasan lanjut, pegawai berkenaan akan memberikan penerangan sebelum perjanjian ditandatangani.

Tujuan utama peruntukan ini adalah untuk melindungi kepentingan peserta yang tidak berupaya menguruskan sendiri urusan perundangan, dan bukannya untuk meletakkan ibu bapa atau penjaga dalam keadaan menanggung obligasi tanpa memahami kandungan perjanjian.

BPJPM meletakkan terma dan syarat perundangan yang akan diberikan kepada peserta program serta perkara-perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan semasa berada dalam program dalam perjanjian tersebut. Kesan kepada perlanggaran terma dan syarat program juga dinyatakan dalam perjanjian tersebut.

Semua ini bagi memastikan perlindungan yang berkesan diberikan kepada peserta program.

Semasa peringkat siasatan terhadap program yang diterima, cawangan siasatan BPJPM akan memaklumkan kepada saksi yang memohon termasuklah ibu atau bapa yang membuat permohonan bagi pihak saksi yang tidak keupayaan di sisi undang-undang dan saksi di bawah umur 18 tahun tentang perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan semasa berada dalam program dan keperluan untuk menandatangani perjanjian ini. Oleh itu, terma-terma perjanjian akan dijelaskan kepada saksi atau ibu bapa atau bapa yang membuat permohonan ke dalam program ini.

Bagi menjawab persoalan Yang Berhormat Kepong, kerajaan mengambil maklum cadangan tersebut. Walau bagaimanapun, perjanjian di bawah seksyen 10A hanya terpakai selepas seseorang saksi diterima masuk sebagai peserta program oleh Peguam Negara. Dalam situasi yang memerlukan tindakan segera, subseksyen 74(4) serta ini memperuntukkan penilaian dan proses kemasukan ke dalam program boleh dilaksanakan terlebih dahulu bagi memastikan perlindungan tidak tertangguh.

Manakala perjanjian akan dimuktamadkan sebaik sahaja peserta diterima ke dalam program ini. Pendekatan ini memberi fleksibiliti operasi tanpa menjejaskan keselamatan saksi.

Isu berkaitan dengan Program Perlindungan Saksi. Yang Berhormat, Yang Berhormat telah membangkitkan berkaitan dengan Program Perlindungan Saksi.

Puan Yang di-Pertua, kerajaan juga ingin menjelaskan bahawa sekiranya peserta sengaja melanggar terma atau syarat dalam perjanjian subseksyen 16(8), memperuntukkan bahawa sekiranya seseorang peserta tidak berpuas hati dengan keputusan Peguam Negara untuk menamatkan penyertaan dalam Program Perlindungan Saksi, peserta tersebut boleh mengemukakan rayuan secara bertulis kepada Menteri dalam tempoh 14 hari dari tarikh penerimaan keputusan tersebut.

Bagi peserta yang berumur di bawah 18 tahun atau yang tidak keupayaan di sisi undang-undang, rayuan tersebut boleh dikemukakan oleh ibu atau bapa atau penjaganya bagi pihak peserta.

Isu berkaitan dengan kadar kejayaan pendakwaan bagi saksi di bawah program ini yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Besut— membangkitkan mengenai kadar kejayaan. Kerajaan ingin memaklumkan bahawa Program Perlindungan Saksi boleh menunjukkan rekod pelaksanaan yang amat memberangsangkan, expectation.

Sejak program ini dikuatkuasakan, tahap keselamatan fizikal peserta kekal pada kadar 100 peratus iaitu tiada sebarang insiden kecederaan, ancaman fizikal atau kematian melibatkan peserta semasa berada di bawah program mahupun selepas penyertaan mereka ditamatkan. Dari sudut keberkesanan sistem keadilan jenayah, program ini turut memberikan impak yang signifikan terhadap pelaksanaan pendakwaan melalui beberapa aspek.

Antaranya, satu menyelesaikan kes berprofil tinggi. Program ini telah menemukan pendakwaan dalam pelbagai kes berprofil tinggi termasuk kes jenayah terancang, pemerdagangan orang dan rasuah. Perlindungan yang diperlukan, yang diberikan membolehkan saksi tampil memberikan keterangan tanpa rasa takut, sekali gus membantu pihak pendakwaan mengemukakan keterangan yang lebih lengkap dan kukuh kepada mahkamah.

Kedua, perlindungan yang disediakan di bawah program termasuk langkah- langkah melindungi identiti dan keselamatan saksi sepanjang prosiding.

Meningkatkan keyakinan saksi untuk hadir dan memberikan keterangan secara bebas daripada ugutan atau intimidasi, intimidation. Keadaan ini membantu memastikan kelancaran prosiding, mengurangkan risiko saksi menarik diri atau enggan memberikan keterangan serta menyumbang kepada keberkesanan keseluruhan proses pendakwaan.

Isu berkaitan dengan kos sebenar bagi program dalam lima tahun yang lepas yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Besut. Puan Yang di-Pertua, perbelanjaan mengurus yang diperuntukkan kepada Bahagian Perlindungan Jabatan Perdana Menteri bagi pelaksanaan Program Perlindungan Saksi sepanjang tempoh lima tahun adalah sebanyak RM9,896,000 pada tahun 2022. RM9,266,000 pada tahun 2023. RM8 juta lebih pada tahun 2024 dan RM8 juta lebih pada tahun 2025 dan RM8,375,000 pada tahun 2026 setakat ini.

Peruntukan tersebut digunakan bagi membiayai keseluruhan pengurusan dan pentadbiran bahagian perlindungan termasuk pelaksanaan Program Perlindungan Saksi selaras dengan akta ini.

draft • 3:40 PM

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) - Tuan M. Kulasegaran a/l V. Murugeson

Perbelanjaan ini meliputi antaranya penyediaan perlindungan dan bantuan kepada peserta program, pengurusan operasi, penyelenggaraan, fasiliti, aset, logistik serta keperluan pentadbiran yang berkaitan bagi memastikan program dapat dilaksanakan secara berkesan dan berterusan.

Yang Berhormat Jerlun membangkitkan mengenai sama ada terdapat isu pertindihan konflik di antara akta ini dan Akta Pemberi Maklumat 2010 dan sama ada individu yang mempunyai maklumat penting, tetapi tidak layak di bawah Akta Pemberi Maklumat masih boleh memperolehi perlindungan.

Puan Yang di-Pertua, kerajaan ingin menjelaskan bahawa seseorang pemberi maklumat yang memerlukan perlindungan di bawah Program Perlindungan Saksi boleh mengemukakan permohonan untuk bertimbangan mengikut akta ini.

Perkara ini adalah selaras dengan subseksyen 703, Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 [Akta 711] yang memperuntukkan bahawa perlindungan di bawah akta tersebut tidak mengehadkan perlindungan yang diberikan di bawah mana-mana undang-undang bertulis termasuk perlindungan di bawah akta ini.

Isu Program Perlindungan Saksi dilengkapi dengan teknologi moden. Yang berhormat Batu Pahat, membangkitkan sama ada program ini dilengkapi dengan teknologi sedemikian. Puan Yang di-Pertua, kerajaan mengambil maklum cadangan Ahli Yang Berhormat supaya Program Perlindungan Saksi diperkasakan dengan menggunakan teknologi moden. Sememangnya kerajaan sentiasa komited untuk memastikan program ini dilaksanakan secara berkesan dengan mengambil kira perkembangan teknologi, keperluan operasi serta tahap ancaman semasa.

Dalam hal ini, penggunaan teknologi yang bersesuaian akan sentiasa dipertimbangkan bagi memperkukuh aspek keselamatan, pemantauan dan pengurusan program tertakluk kepada keperluan operasi, kemampuan kewangan kerajaan serta pertimbangan keselamatan. Pada masa yang sama, sebarang perlaksanaan teknologi tersebut hendaklah berturut mengambil kira aspek kerahsiaan perlindungan data dan keselamatan peserta program.

Kerajaan akan terus meneliti amalan terbaik serta perkembangan teknologi yang bersesuaian bagi memastikan Program Perlindungan Saksi kekal relevan, berkesan dan mampu memberikan perlindungan yang optimum kepada peserta, tertakluk kepada peruntukan di bawah perundangan sedia ada.

Yang Berhormat Jerlun juga membangkitkan, adakah rakyat yakin untuk mendapatkan perlindungan sepenuhnya, khususnya sama ada saksi jenayah terancang, rasuah dan salah guna kuasa benar-benar dilindungi daripada ugutan kehilangan pekerjaan dan ancaman keselamatan.

Puan Yang di-Pertua, kerajaan mengambil maklum cadangan Ahli-ahli Yang Berhormat berkenaan dengan Pindaan Akta 696 bertujuan untuk memastikan aspek perlindungan keselamatan dan kebajikan saksi yang diberikan perlindungan di bawah Program Perlindungan Saksi sentiasa terpelihara, sebaiknya memperluas skop perlindungan dan bantuan bukan sahaja kepada peserta Program Perlindungan Saksi malah kepada peserta yang perlindungan ditamatkan oleh Peguam Negara, serta memperkasa, menguruskan operasi dan perlaksanaan Program Perlindungan Saksi yang berkesan.

Pindaan ini juga dapat meningkatkan keyakinan masyarakat bahawa keselamatan mereka serta ahli keluarga akan sentiasa terpelihara di samping kebajikan mereka terus diberikan perhatian sepanjang tempoh perlindungan dan juga selepas Program Perlindungan Saksi ditamatkan. Perlindungan yang lebih komprehensif ini diyakini akan menggalakkan lebih ramai saksi tampil memberikan kerjasama tanpa rasa takut dan bimbang terhadap sebarang ancaman.

draft • 3:50 PM

Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng

Masa sudah tamat.

draft • 3:50 PM

Tuan M. Kulasegaran a/l V. Murugeson

Terima kasih Puan Yang di-Pertua, saya memohon bahawa untuk Ahli-ahli Yang Berhormat yang lain yang telah berucap, saya akan memberi secara bertulis dan saya memberi aku janji, jika tidak mendapat jawapan dalam beberapa hari ini, tolong berjumpa dengan saya, saya akan usaha untuk mendapat dengan serta-merta. Terima kasih kepada semua.

draft • 3:50 PM

Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng

Terima kasih.

Ahli-ahli Yang Berhormat, sekarang saya kemukakan masalah kepada Majlis bagi diputuskan. Masalahnya ialah bahawa rang undang-undang ini dibacakan kali yang kedua sekarang.

[Masalah dikemukakan bagi diputuskan; dan disetujukan] [Rang undang-undang dibacakan kali yang kedua dan diserahkan kepada Dewan sebagai Jawatankuasa] [Majlis bersidang dalam Jawatankuasa] [Timbalan Yang di-Pertua (Puan Alice Lau Kiong Yieng) mempengerusikan Jawatankuasa****] [****Fasal-fasal dikemukakan kepada Jawatankuasa] [Fasal-fasal 1 hingga 6 diperintahkan jadi sebahagian daripada rang undang-undang] [Rang undang-undang dimaklumkan kepada Majlis sekarang] [Majlis Mesyuarat bersidang semula] [Timbalan Yang di-Pertua (Puan Alice Lau Kiong Yieng) **mempengerusikan Mesyuarat****] [Rang undang-undang dilaporkan dengan tidak ada pindaan; dibacakan kali yang ketiga, disokong oleh Timbalan Menteri Ekonomi (Dato' Indera Mohd Shahar bin Abdullah) dan diluluskan]

draft • 3:50 PM
RANG UNDANG-UNDANG PROFESION KERJA SOSIAL 2026 Bacaan Kali Yang Kedua dan Ketiga

Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng

Dipersilakan Yang Berhormat Menteri untuk kemukakan rang undang-undang ini.

draft • 3:50 PM

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat - Dato’ Sri Hajah Nancy binti Shukri

Terima kasih Puan Yang di-Pertua.

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Tuan Yang di-Pertua, saya mohon mencadangkan supaya Rang Undang- undang Profesion Kerja Sosial 2026 dibacakan kali kedua sekarang.

Tuan Yang di-Pertua, kerja sosial merupakan satu bidang tugas yang murni bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh individu, kumpulan atau komuniti agar mereka dapat kembali berfungsi dan meneruskan kehidupan secara berdikari.

Namun begitu, kerja sosial tidak boleh disamakan dengan tugas sukarelawan semata-mata seperti tanggapan kebanyakan orang. Kerja sosial ialah satu profesion yang memerlukan kompetensi, pengetahuan, kemahiran dan latihan secara formal.

Ia melibatkan proses-proses yang perlu dilaksanakan secara teratur, bermula daripada penglibatan ataupun engagement dengan izin, dengan individu ataupun kumpulan yang hendak dibantu, penilaian, perancangan, intervensi, pelaksanaan intervensi, penilaian semula keadaan individu atau kumpulan sehinggalah penamatan perkhidmatan yang diberikan.

Oleh itu Tuan Yang di-Pertua, kerja sosial harus dilaksanakan dengan menggunakan kemahiran dan kaedah-kaedah tertentu agar benar-benar membantu rakyat dalam mengembalikan dan meningkatkan kefungsian sosial dan kesejahteraan mereka.

Justeru, individu yang melakukan kerja sosial perlu dipastikan memiliki kompetensi dan pengetahuan asas sekurang-kurangnya mengenai tingkah laku manusia, psikologi kanak-kanak, sistem sosial, undang-undang dan dasar-dasar sedia ada untuk membantu rakyat. Ini penting kerana keputusan yang dibuat oleh pekerja sosial boleh memberi kesan kepada kehidupan klien secara langsung.

Puan Yang di-Pertua, perjalanan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat atau KPWKM dalam membangunkan kerangka perundangan bagi meningkatkan profesionalisme dalam bidang kerja sosial ini telah bermula sejak lebih 10 tahun dahulu.

Pelbagai pandangan yang diterima, pelbagai cadangan diambil kira, cabaran untuk mencari satu kerangka terbaik bagi memenuhi hasrat dan harapan semua pihak, diakui sukar, tetapi saya dan pasukan di KPWKM telah menanam sasaran untuk membawa perjalanan yang panjang untuk merealisasikan Rang Udang- undang Profesion Kerja Sosial ataupun RUU PKS ini agar akhirnya melintasi garisan penamat.

draft • 3:57 PM

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat - Dato’ Sri Hajah Nancy binti Shukri

[Timbalan Yang di-Pertua (Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor) **mempengerusikan Mesyuarat****] Selaras dengan iltizam reformasi Kerajaan MADANI, KPWKM telah mengambil pelbagai usaha dan inisiatif agar RUU ini dapat dibentangkan pada tahun ini. Bagi tujuan tersebut, kami telah melaksanakan pelbagai siri bengkel, mesyuarat dan sesi libat urus berterusan dengan pihak-pihak berkepentingan seperti kementerian, jabatan serta agensi kerajaan, badan bukan kerajaan, pihak kerajaan negeri dan pihak-pihak lain yang berkaitan.

Berdasarkan pertimbangan terhadap semua input bengkel dan sesi libat urus tersebut, KPWKM telah membuat penambahbaikan berterusan kepada dasar-dasar dalam RUU PKS. Tindakan ini diambil agar keperluan semasa dan akan datang dalam bidang kerja sosial ini dapat dipenuhi dan seterusnya memberi manfaat kepada semua pihak terutamanya kepada golongan rentan yang paling memerlukan perkhidmatan kerja sosial ini.

Tuan Yang di-Pertua, perubahan dalam landskap demografi negara yang menuju ke arah negara tua, urbanisasi yang pesat, peningkatan kos sara hidup, penggunaan teknologi maklumat dan kecerdasan buatan (AI) yang meluas menimbulkan pelbagai cabaran hidup kepada rakyat. Dapatan Kajian Indeks Kesejahteraan Keluarga Malaysia 2022 oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) menunjukkan bahawa antara cabaran utama yang dihadapi oleh keluarga di Malaysia ialah masalah sosial dengan sebanyak 40.2 peratus responden bersetuju dengan fakta ini.

Sementara itu, Kajian Pengurusan Organisasi JKM ke arah Perwujudan Ekosistem Perkhidmatan Sosial yang Cemerlang oleh pasukan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) pada tahun 2019 menunjukkan nisbah pekerja sosial JKM kepada populasi penduduk Malaysia ialah seorang pekerja sosial kepada 8,576 penduduk.

Nisbah ini memang besar jika dibandingkan dengan negara-negara lain seperti di Amerika Syarikat di mana nisbahnya ialah seorang pekerja sosial kepada 490 orang penduduk. Kalau di Australia pula, seorang pekerja sosial kepada 1,040 orang penduduk. Di United Kingdom, seorang pekerja sosial kepada 3,025 orang penduduk. Dan di Singapura, seorang pekerja sosial kepada 3,448 orang penduduk.

Jumlah kes yang dikendalikan oleh JKM juga telah berlipat ganda dalam tempoh lima tahun iaitu sebanyak 1,013,466 kes pada tahun 2025 berbanding 663,628 kes pada tahun 2020. Angka ini menunjukkan cabaran isu sosial yang semakin kompleks dihadapi oleh rakyat. Kes isu sosial menunjukkan trend meningkat dan, jika berlanjutan, ia seterusnya boleh meningkatkan lagi permintaan terhadap perkhidmatan sosial di masa hadapan.

Peningkatan dalam jumlah kes sosial ini tidak seharusnya terus menerus ditampung sepenuhnya oleh pegawai pembangunan masyarakat di bawah JKM atau pegawai awam sedia ada dalam sektor awam di masa hadapan. Oleh itu, penggubalan RUU PKS ini adalah penting agar kita dapat meningkatkan jumlah pekerja sosial yang berkelayakan di Malaysia daripada sektor swasta atau badan bukan kerajaan yang boleh sama-sama berganding bahu dengan kerajaan dalam menyediakan perkhidmatan sosial kepada rakyat.

Ini kerana melalui penggubalan RUU PKS, pekerja sosial yang kompeten akan diberikan perakuan oleh badan kawal selia iaitu Majlis Profesion Kerja Sosial Malaysia yang boleh dimanfaatkan sepenuhnya untuk memberikan perkhidmatan sosial. Dalam erti kata lain, RUU PKS menyediakan suatu ruang bagi mewujudkan kerjasama strategik antara sektor awam dan swasta untuk bekerjasama demi kepentingan rakyat.

Tuan Yang di-Pertua, walaupun profesion kerja sosial semakin berkembang di peringkat global, pada masa ini kita masih tidak mempunyai takrifan perkhidmatan kerja sosial yang jelas dalam mana-mana akta di Malaysia. Perkhidmatan kerja sosial yang ditawarkan oleh kerajaan dilaksanakan oleh pegawai awam merentasi pelbagai kementerian dan agensi berdasarkan akta serta peraturan di bawah kementerian atau agensi masing-masing.

Di samping itu, pelbagai perkhidmatan sosial juga disediakan oleh sektor swasta yang merangkumi badan bukan kerajaan, ataupun NGO, organisasi berasaskan komuniti, ataupun community-based organization (CBO), dengan izin, syarikat korporat serta orang perseorangan tanpa takrifan yang jelas. Walau bagaimanapun, pada masa ini, kerajaan tiada sebarang data mengenai jumlah, kompetensi atau profil pekerja sosial ini. Oleh itu, kerajaan dan rakyat tiada mekanisme untuk mengenal pasti siapa pekerja sosial yang benar-benar layak memberikan bantuan kepada rakyat selain daripada pegawai awam.

Melalui RUU ini, ketiadaan mekanisme ini boleh diatasi. Ini juga boleh mengelakkan berlakunya isu sosial yang lebih kompleks seperti kes pedofilia. Contoh perkara yang ingin dikekang adalah seperti kes seorang warganegara British bernama Richard Huckle pada tahun 2016 yang pada mulanya memasuki Malaysia atas alasan bertujuan melaksanakan aktiviti kerja sosial tetapi akhirnya disabitkan kesalahan merogol dan serangan seksual ke atas 23 orang kanak-kanak di negara kita.

Tuan Yang di-Pertua, selaras dengan perkembangan masyarakat dan isu sosial yang semakin kompleks, sudah tiba masanya untuk kerajaan meningkatkan taraf profesion kerja sosial di Malaysia melalui undang-undang dan peraturan. Ini penting untuk mengawal selia amalan kerja sosial supaya kerajaan dapat memastikan profesionalisme serta akauntabiliti pengamal kerja sosial terpelihara.

Oleh itu, perkara utama yang ingin dilaksanakan melalui RUU PKS ini adalah pembentukan satu kerangka tadbir urus yang sistematik dan jelas bagi mengawal selia pekerja sosial dan meningkatkan kompetensi dan kualiti perkhidmatan kerja sosial yang disampaikan kepada rakyat agar lebih terjamin, berkesan dan selamat.

Ini akan dilakukan melalui penubuhan Majlis Profesion Kerja Sosial Malaysia di bawah RUU PKS di mana badan ini akan melaksanakan beberapa fungsi penting.

Pertamanya, Majlis ini bertanggungjawab meluluskan dan mengeluarkan perakuan amalan, perakuan amalan sementara dan perakuan interim kepada pengamal kerja sosial. Pengamal kerja sosial yang menerima perakuan amalan ini akan disenaraikan dalam daftar yang dikawal selia oleh Majlis Profesion Kerja Sosial Malaysia.

Seterusnya, daftar ini boleh diakses oleh rakyat untuk tujuan pengesahan kelayakan agar mereka boleh mendapatkan perkhidmatan daripada pengamal kerja sosial yang berdaftar dan menghindarkan diri daripada mana-mana orang yang hanya menggelarkan diri sebagai pekerja sosial tanpa kelayakan atau kompetensi sebenar.

Kedua, Majlis ini akan membangunkan standard kompetensi profesional dan memastikan jaminan kualiti program-program yang ditawarkan dalam bidang kerja sosial. Dengan ini, kualiti program-program yang disampaikan kepada pengamal kerja sosial dapat dipastikan mutunya agar setiap individu yang melaksanakan perkhidmatan sosial memiliki kemahiran yang sewajarnya dan menjalankan tugas mereka berdasarkan keperluan piawaian kompetensi yang ditetapkan.

Ketiga, Majlis Profesion Kerja Sosial Malaysia juga bertanggungjawab melaksanakan fungsi bagi mengawal selia etika dan disiplin pengamal kerja sosial melalui pengurusan aduan, tatacara siasatan dan tindakan tatatertib yang teratur.

Justeru, RUU PKS ini dapat memberi perlindungan undang-undang kepada rakyat yang menerima perkhidmatan sosial dan mengawal isu salah laku atau eksploitasi pekerja sosial semasa memberi perkhidmatan kepada rakyat.

draft • 4:00 PM

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat - Dato’ Sri Hajah Nancy binti Shukri

Pada masa yang sama, RUU PKS ini juga menjadi platform bagi melindungi pekerja sosial dengan adanya penubuhan jawatankuasa siasatan dan tatatertib di bawah Majlis Profesion Kerja Sosial Malaysia bagi melaksanakan siasatan ke atas setiap aduan yang diterima dengan adil dan saksama tanpa terus menuding jari atau membuat tohmahan yang tidak berasas terhadap pekerja sosial.

Keempat, Majlis Profesion Kerja Sosial Malaysia juga diberi kuasa dan boleh melaksanakan perundingan dan menilai peluasan pemakaian akta ini pada masa hadapan. Perkara ini diperuntukkan dengan jelas dalam RUU agar peluasan pemakaian kepada mana-mana kumpulan pekerja sosial dapat dibuat secara berfasa mengikut keperluan dan ketersediaan di lapangan. Perkara ini adalah penting agar kualiti dan kelangsungan penyampaian perkhidmatan sosial dalam negara terjamin dan peluasan pemakaian dapat dibuat mengikut peredaran masa.

Kelima, majlis ini juga bertanggungjawab melaksanakan promosi dan advokasi berkaitan profesion kerja sosial. Perkara ini amat perlu memandangkan takrifan perkhidmatan kerja sosial masih belum difahami sepenuhnya oleh masyarakat kita.

Tuan Yang di-Pertua, dalam usaha melahirkan pekerja sosial yang kompeten, institut pengajian tinggi awam (IPTA) dan institut pengajian tinggi swasta

(IPTS) di negara ini turut menawarkan kursus dalam bidang kerja sosial. Sehingga Jun 2026, tiga buah IPTA menawarkan Ijazah Doktor Falsafah, tiga buah IPTA dan sebuah IPTS menawarkan Ijazah Sarjana Kerja Sosial, tujuh buah IPTA menawarkan Ijazah Sarjana Muda Kerja Sosial, tiga buah IPTS menawarkan Diploma Kerja Sosial dan sebuah IPTA menawarkan Diploma Pasca Siswazah Kerja Sosial.

Namun, berdasarkan maklumat yang diterima menerusi sesi libat urus dengan ahli-ahli akademik, kebanyakan graduan kerja sosial terpaksa beralih ke bidang lain seperti pentadbiran dan pemasaran berikutan peluang kerjaya dalam bidang kerja sosial yang terhad. Selain daripada kelulusan akademik, pengalaman dalam bidang kerja sosial juga perlu diambil kira untuk membolehkan perkhidmatan dan kompetensi yang terbaik diberikan kepada masyarakat. Profesion ini juga memerlukan dan menekankan interaksi sesama manusia, empati serta belas ihsan

(compassion) yang tinggi dan tidak boleh diambil alih oleh teknologi kecerdasan buatan (AI).

Oleh itu, RUU ini turut memberi laluan kepada graduan baharu untuk mendapat perakuan interim bagi memperoleh dan membina pengalaman (acquire and build experience), dengan izin, yang diperlukan dalam perkhidmatan kerja sosial.

Kerja sosial merupakan bidang yang penting, namun belum lagi menjadi satu industri yang besar di Malaysia.

Oleh itu, RUU PKS bukan sahaja diperlukan bagi menjaga kebajikan penerima perkhidmatan kerja sosial tetapi juga untuk menjadikan profesion kerja sosial sebagai satu kerjaya yang bereputasi dan penting dalam masyarakat.

Penggubalan RUU PKS ini diyakini boleh menjadi salah satu pemangkin utama untuk menghasilkan peluang pekerjaan baharu serta menggalakkan penyertaan golongan muda dalam menceburi bidang tersebut di Malaysia.

Tuan Yang di-Pertua, rang undang-undang ini mengandungi 36 fasal dan dibahagikan kepada tujuh bahagian seperti berikut.

Bahagian I mengandungi dua fasal meliputi tajuk dan takrifan perkataan atau ungkapan dalam RUU ini, Bahagian II mengandungi 14 fasal yang memperkatakan peruntukan yang berhubungan dengan Majlis Profesion Kerja Sosial Malaysia, Bahagian III mengandungi enam fasal yang memperkatakan peruntukan yang berhubungan dengan pengamal kerja sosial dan pelatih kerja sosial, Bahagian IV mengandungi enam fasal yang memperkatakan peruntukan yang berhubungan dengan prosiding tatatertib, Bahagian V mengandungi dua fasal yang memperkatakan peruntukan yang berhubungan dengan pengeluaran daripada dan kemasukan semula ke dalam daftar, Bahagian VI mengandungi dua fasal yang memperkatakan peruntukan yang berhubungan dengan kesalahan-kesalahan, dan; Bahagian VII mengandungi empat fasal yang memperkatakan peruntukan am.

Tuan Yang di-Pertua, cadangan penggubalan akta baharu ini akan mewujudkan satu mekanisme perundangan khusus bagi mengawal selia dan memperkasakan profesion kerja sosial di Malaysia.

Penggubalan RUU PKS akan membolehkan pengamal kerja sosial yang ingin mengamalkan kerja sosial di Malaysia memberikan perkhidmatan yang berkualiti kepada masyarakat. Ini akan meningkatkan keyakinan orang awam terhadap perkhidmatan kerja sosial di negara ini. Penggubalan RUU PKS merupakan reformasi yang amat signifikan bagi memastikan perkhidmatan kerja sosial di negara ini dilaksanakan oleh pengamal yang kompeten, beretika dan memenuhi standard profesional yang ditetapkan.

Pada masa yang sama, perundangan ini akan memberikan pengiktirafan kepada pengetahuan, kemahiran serta kelayakan kepada pengamal kerja sosial di negara ini. Secara keseluruhannya, penggubalan RUU ini adalah inisiatif penting dalam memperkukuh ekosistem kesejahteraan sosial negara, selaras dengan dasar dan hala tuju pentadbiran Kerajaan MADANI yang berteraskan nilai kemanusiaan dan kesejahteraan rakyat. Sekian, terima kasih.

draft • 4:10 PM

Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor

Yang Berhormat Menteri, ada sesiapa menyokong?

draft • 4:10 PM

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat - Puan Lim Hui Ying

Saya mohon menyokong.

draft • 4:10 PM

Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor

Ahli-ahli Yang Berhormat, masalah di hadapan Majlis ialah rang undang-undang bernama suatu akta untuk mengadakan peruntukan bagi penubuhan Majlis Profesion Kerja Sosial Malaysia untuk mengawal selia pengamal kerja sosial, pelatih kerja sosial dan perkhidmatan kerja sosial dan untuk mengadakan peruntukan bagi perkara yang berkaitan dibaca kali yang kedua sekarang dan terbuka untuk dibahas.

Ahli-ahli Yang Berhormat, senarai di dalam tangan saya seramai 24 orang Yang Berhormat akan berbahas. Mereka adalah Yang Berhormat Ipoh Timor, Yang Berhormat Rantau Panjang, Yang Berhormat Puchong, Yang Berhormat Maran, Yang Berhormat Putatan, Yang Berhormat Kuala Krai, Yang Berhormat Wangsa Maju, Yang Berhormat Padang Terap, Yang Berhormat Kepong, Yang Berhormat Kapar, Yang Berhormat Bukit Bendera, Yang Berhormat Tumpat, Yang Berhormat Beaufort, Yang Berhormat Tanjong Karang, Yang Berhormat Kota Belud, Yang Berhormat Ampang, Yang Berhormat Kulim-Bandar Baharu, Yang Berhormat Betong, Yang Berhormat Kalabakan, Yang Berhormat Kubang Pasu, Yang Berhormat Bakri, Yang Berhormat Seputeh, Yang Berhormat Arau, Yang Berhormat Bentong.

Yang Berhormat diberi masa lima minit. Walau bagaimanapun, tertakluk kepada budi bicara Pengerusi. Dengan ini, saya mempersilakan Yang Berhormat Ipoh Timor untuk memulakan.

draft • 4:10 PM

Tuan Lee Chuan How - Ipoh Timor

Terima kasih Timbalan Yang di-Pertua.

Saya kena menyatakan bahawasanya saya menyokong bukan sahaja secara prinsip, tetapi Rang Undang-undang PKS 2026 ini. Namun demikian, ada beberapa kerisauan dan kekhuatiran dan maklum balas yang saya ingin sampaikan kepada Ahli-ahli seisi Dewan dan juga Yang Berhormat Menteri.

Konteksnya gini, sudah terlalu lama kerja sosial dianggap sebagai kerja kebajikan sampingan. Boleh ada, boleh tak ada, tetapi hakikatnya, keputusan seseorang pekerja sosial menentukan sama ada seorang kanak-kanak terus selamat. Ia menentukan seorang mangsa keganasan mendapat perlindungan. Ia juga membantu menetapkan sama ada seorang OKU menerima penjagaan atau tidak, dan apa jenis penjagaan dan sama ada sebuah keluarga terselamat daripada jatuh miskin dalam keadaan yang malang.

RUU ini mengiktiraf kerja sosial sebagai satu profesion dan ia mewujudkan Majlis Profesion Kerja Sosial Malaysia, daftar pengamal, piawaian kompetensi, pembangunan profesional dan proses tatatertibnya. Ini langkah yang sangat-sangat penting. Namun, kita perlu melihat rang undang-undang ini dalam konteks yang lebih luas dan lebih besar dan lebih mendalam.

draft • 4:18 PM

Tuan Lee Chuan How - Ipoh Timor

Malaysia sedang berhadapan dengan kadar kelahiran yang makin rendah, masyarakat yang semakin menua, saiz keluarga yang semakin kecil dan beban penjagaan atau tanggungjawab penjagaan yang semakin berat. Lebih ramai rakyat akan hidup lebih lama, itu benda yang baik. Pada masa yang sama, semakin sedikit anak dewasa akan menjaga ibu bapa, atuk nenek daripada ibu bapa mereka dan lebih ramai wanita terpaksa memilih antara pekerjaan dan tanggungjawab menjaga keluarga.

Tetapi ia bukan sahaja terhad kepada wanita, semua rakyat Malaysia dan semua rakyat serantau Asia sebenarnya terdedah kepada risiko ini dan saya tidak menggunakan istilah risiko dengan ringan. Maka, isu kerja sosial bukan sekadar isu profesion, ia soal nak bentuk masyarakat yang kita mahu apa bentuk masyarakat yang kita mahu bina. Negara yang benar-benar pro keluarga mesti menjadi negara yang pro penjagaan. Kerja sosial kalau nak dikatakan sebagai satu rantaian industri atau satu rantaian kemanusiaan, hiliran rantaian itu daripada kebajikan dan perkhidmatan sosial adalah penjagaan.

Timbalan Speaker, saya mahu membangkitkan lima perkara yang saya rasa perlu dijawab secara lebih mendalam dan tuntas. Pertamanya, kita mesti mempunyai satu standard profesional untuk kerajaan dan bukan kerajaan.

Fasal 19 memberi pengecualian kepada pegawai awam yang menjalankan kerja sosial dalam tugas rasmi mereka daripada memegang perakuan amalan. Bagi saya ini menimbulkan sesuatu persoalan tanpa syak wasangka. Mengapa pekerja sosial dalam NGO dalam sektor swasta wajib berdaftar tetapi pegawai kerajaan pula yang mengendalikan kes berisiko yang lebih tinggi kebanyakan masa tidak tertakluk kepada standard yang sama?

Pegawai kerajaan membuat keputusan mengenai perlindungan kanak- kanak, penempatan OKU, bantuan keluarga dan penjagaan warga emas. Ya, saya faham mungkin bidang kuasa ada kepada pegawai-pegawai awam dan kerajaan tetapi standard itu juga perlu ditakluk— pegawai-pegawai kerajaan juga perlu tertakluk kepada standard-standard yang sama. Dan rakyat berhak menerima standard profesional yang sama, tak kiralah perkhidmatan itu diberikan oleh kerajaan atau NGO atau sektor swasta.

Kerajaan perlu melaksanakan pendaftaran secara berfasa dengan pengiktirafan pengalaman melalui APEL.Q, latihan peralihan dan penilaian kompetensi untuk pegawai sedia ada. Saya tahu itu satu cabaran tetapi tidak bermaksud kita memberi pengecualian dari mulanya.

Dan keduanya kita mesti melindungi profesion tanpa menghukum masyarakat yang nak membantu. Saya tahu istilah menghukum itu berat sikit tapi saya gagal untuk mencari istilah yang lebih sesuailah. Takrif perkhidmatan kerja sosial dalam rang undang-undang ini luas.

Fasal 31 pula mengenakan hukuman kepada mereka yang memberi perkhidmatan kerja sosial tanpa pendaftaran. Adakah volunteer atau sukarelawan, pusat khidmat rakyat, pejabat-pejabat kami sebagai wakil rakyat, rumah ibadat, persatuan penduduk dan kumpulan sokongan keluarga akan juga terdedah kepada kesalahan tersebut tanpa sengaja?

Dan undang-undang mesti membezakan antara fungsi profesional berisiko tinggi dengan bantuan komuniti yang biasa. Dan penilaian risiko kanak-kanak, laporan kepada mahkamah dan keputusan penempatan mesti dilaksanakan oleh pengamal terlatih. Namun mengagihkan makanan, membantu mengisi borang, membuat rujukan, memberi sokongan ambil pakai telefon untuk rujuk itu pun, itu adalah sebahagian daripada sokongan komuniti dan tidak patut dijadikan atau ada ruang untuk ditafsirkan sebagai satu kesalahan.

Ketiga, pendaftaran mesti disertai dengan pelan tenaga kerja dan kita tahu apa yang saya sebut tadi penjagaannya adalah hiliran. Kita tidak mahu melahirkan satu profesion yang berlesen tetapi terlalu kecil, terlalu penat dan dibebani terlampau banyak kes. Kerajaan perlu membentangkan pelan tenaga kerja sosial kebangsaan untuk lima tahun sekurang-kurangnya sebagai satu rolling plan sebagai sampingan dan pelengkap.

Kita perlukan sasaran bilangan pekerja sosial, had beban kes, latihan berbayar, penyeliaan profesional, insentif kawasan luar bandar dan laluan kepakaran dalam kesihatan mental, OKU, perlindungan kanak-kanak dan penjagaan warga emas. Saya secepat mungkin nak selesaikan.

Keempat, sistem tatatertib mesti adil dan berkadar.

Fasal 26 memberi kuasa untuk menggantung perakuan sementara siasatan berjalan. Namun, kriteria penggantungan dan tempoh maksimum perlu dijelaskan.

Fasal 29, 30 juga perlu diperhalusi supaya kesalahan pentadbiran kecil tidak membawa kepada kehilangan kerjaya secara kekal.

Seseorang yang berhenti sementara kerana melahirkan anak, menjaga ibu bapa, melanjutkan pelajaran atau menghadapi masalah kesihatan tidak patut dihalang daripada kembali kepada profesion tersebut.

Kelima, kita perlu bergerak daripada sistem rujukan kepada sistem tanggungjawab. Dalam kawasan saya, saya pernah mengendalikan kes tiga orang adik-beradik dewasa. Dua mengalami masalah kesihatan mental dan seorang mempunyai ketidakupayaan pembelajaran dan ibu mereka berusia 81 tahun merupakan penjaga utama, tetapi malangnya tiba-tiba ibu mereka meninggal dunia.

Seorang sesuai menerima perkhidmatan JKM, manakala dua lagi hanya mendapat rawatan psikatri jangka panjang.

Sebenarnya tiada satu agensi mampu dan diberi kuasa untuk mengambil tanggungjawab terhadap keseluruhan masa depan keluarga ini sebagai satu unit nukleus yang tidak boleh diasingkan. Malangnya, dalam keadaan sekiranya ikut semua undang-undang, mereka terpaksa diasingkan tapi akhirnya saya mampu untuk mencari jalan untuk tidak asingkan mereka.

Masalahnya bukan kekurangan belas kasihan, masalahnya adalah sistem yang berpecah dan saya rasa dan saya harap rang undang-undang ini dengan pekerja sosial yang lebih berkapasiti, dengan kerangka pentadbiran dan tatatertib yang lebih menyeluruh, kita dapat menyelesaikan masalah ini. Jangan biarkan keluarga bergerak dari JKM ke hospital, dari hospital ke NGO, dari NGO kembali ke pusat khidmat tanpa sesuatu penyelesaian systemic. Speaker, kemiskinan juga tidak sentiasa berlaku secara perlahan. Isu-isu yang kita hadapi di lapangan adalah isu-isu yang sekiranya ada koordinasi dan fasilitasi yang lengkap, yang berkesan, yang menyeluruh yang berbelas kasihan adalah penyelesaian yang mampu disampaikan oleh pekerja sosial yang terlatih.

Berikan pekerja sosial tenaga latihan kuasa sumber dan satu sistem yang berfungsi, daftar melindungi standard profesion, sistem yang berfungsi melindungi manusia dan saya yakin dengan jawabnya soalan-soalan saya sampaikan tadi, kita dapat selaku Ahli-ahli seisi Dewan meluluskan satu kerangka perubahan terhadap profesion yang amat diperlukan oleh rakyat dan negara. Sekian, terima kasih. Ipoh Timur menyokong.

draft • 4:20 PM

Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor

Terima kasih Yang Berhormat Ipoh Timur. Dipersilakan Yang Berhormat Rantau Panjang.

draft • 4:20 PM

Dato’ Hajah Siti Zailah binti Mohd Yusoff - Rantau Panjang

Ya, terima kasih. Bismillahirrahmanirrahim.,Aassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua kerana turut memberi peluang kepada saya untuk sama-sama membahaskan RUU Profesion Kerja Sosial 2026.

Terlebih dahulu saya mengambil kesempatan ini mengucapkan setinggi- tinggi tahniah kepada Yang Berhormat Menteri dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di atas kejayaan pembentangan RUU ini yang mengiktiraf kerja sosial sebagai satu profesion.

Dan kita di Malaysia sebagaimana yang dinyatakan oleh Yang Berhormat Menteri masih jauh ketinggalan berbanding dengan negara maju di mana nisbah kita sekarang ini masih lagi satu nisbah 8,576 penduduk berbanding dengan pekerja sosial dan begitu juga kes-kes yang dikendalikan di bawah JKM semakin meningkat sehingga tahun lepas sahaja melebihi daripada satu juta kes dan realiti inilah yang kita lihat bagaimana negara kita menghadapi masalah sosial yang semakin kompleks, di mana kapasiti pekerja sosial kita masih jauh daripada mencukupi.

Jadi, kita harapkan dengan adanya akta ini akan menarik lebih ramai lagi rakyat untuk menyertai profesion kerja sosial ini dan diharapkan akta ini akan memberi pelindung kepada pekerja sosial, bukan menjadi bebanan kepada pekerja sosial.

Negara kita sebenarnya terhutang budi kepada pekerja sosial di seluruh negara. Mereka membantu mangsa penderaan, mereka mendampingi warga emas yang ditinggalkan, mereka menyantuni keluarga miskin, mereka mengurus anak- anak yang terabai, mereka berhadapan dengan penagih dadah, mereka mendengar kisah penderitaan masyarakat setiap hari, mereka melaksanakan tugas yang berat ini dan mereka laksanakan bukan kerana nama, bukan kerana ganjaran tapi mereka bekerja ikhlas membantu.

draft • 4:27 PM

Dato’ Hajah Siti Zailah binti Mohd Yusoff - Rantau Panjang

Jadi, janganlah akta ini menyebabkan ramai yang lari daripada perkhidmatan mereka. Saya ingin penjelasan Tuan Yang di-Pertua, sejauh manakah akta ini memberi perlindungan kepada pekerja sosial? Kita bukan sekadar mengamal selia— bukan sekadar mengawal selia pekerja sosial tapi seharusnya memberi keyakinan bukan menakutkan dengan hukuman. Siapakah yang tertakluk sebenarnya di bawah akta ini? Adakah semua sukarelawan, penggerak komuniti termasuk juga kakitangan pusat khidmat ataupun YB, ADUN dan Parlimen? Adakah kami yang melaksanakan kerja ini juga wajib berdaftar? Mengapa pekerja sosial terutama yang melibatkan penjawat awam kerajaan dikecualikan? Mengapa media sosial di sektor kerajaan khususnya JKM tidak termasuk di bawah kewajipan mendaftar di bawah akta ini?

Kenapa— kalau kita tengok kajian di bawah APPGM-SDG saya salah seorang ahli jawatankuasanya mendapati keperluan untuk meningkatkan profesionalisme pekerja sosial di kalangan kakitangan ini sebenarnya sangat perlu.

Jadi pendaftaran di bawah akta akan memastikan standard latihan, kompetensi, akauntabiliti yang lebih tinggi. Jadi, saya ingin penjelasan kenapa berlaku dua standard ini, ingin penjelasan daripada Yang Berhormat Menteri.

Dan saya ingin penjelasan juga, apakah falsafah utama dalam akta ini?

Apakah piawai kerja sosial, yang teras yang dilaksanakan? Sebab kita inginkan kerja sosial ini yang bersifat amanah, ihsan, adil, rahmah, pemeliharaan maruah manusia, pencegahan kemudaratan dan ini adalah sebenarnya selaras dengan kehendak Islam. Jadi, saya mencadangkan supaya falsafah Islam dijadikan falsafah utama dalam pelaksanaan ini dan juga terutama dalam melaksanakan, menangani konflik keluarga. Ia memerlukan kepada kebijaksanaan, mengimbangi usaha mengukuhkan keluarga dan keselamatan mangsa.

Jadi, adakah nilai etika profesional yang islamik diterapkan melalui pendidikan dan latihan kepada pengamal kerja sosial ini? Dan sejauh mana juga pelaksanaan ini untuk membimbing? Kita lihat dalam pelaksanaan ini iaitu tentang kerahsiaan dan sebagainya dipelihara.

RUU ini tidak menyatakan dengan khusus asas nilai yang perlu membimbing Majlis dalam membentuk piawai tersebut. Jadi, saya harap perkara ini diberi penjelasan. Begitu juga berkaitan dengan fasal 19 dan seksyen 19(8) di mana jelas menampakkan perbezaan antara sektor swasta wajib mendaftar dan sektor awam lain bukan satu kewajipan. Jadi kenapa wujudnya dua standard yang begini?

Tuan Yang di-Pertua, saya mengharapkan supaya bagi kesalahan yang tidak melibatkan unsur jenayah, penipuan dan salah laku, Majlis hendaklah mengutamakan latihan pemulihan, kursus peningkatan kompetensi, bimbingan profesional, mentor kepada pekerja sosial baru, amaran dan pemantauan dan hukuman adalah pilihan terakhir kerana objektif daripada akta ini bukan menghasilkan lebih banyak prosiding tatatertib tetapi untuk melahirkan lebih ramai pekerja sosial yang kompeten dan yakin menjalankan amanah mereka.

Jangan kita lupa kebajikan mereka yang menjaga kebajikan orang lain. Kita menjaga kebajikan mereka yang memerlukan tetapi kita juga kena menjaga orang yang bekerja untuk menjaga kebajikan orang lain. Jadi, hari ini Tuan Yang di-Pertua, kita bercakap mengenai perlindungan kepada penerima bantuan tetapi siapa pula yang akan menjaga pekerja sosial? Mereka berhadapan dengan pelbagai ancaman termasuk tekanan emosi, trauma, risiko disaman, risiko dicederakan dan kita lihat bagaimana dalam akta ini tidak nampak penekanan yang jelas terhadap perlindungan kepada pekerja yang melaksanakan kerja kebajikan ini.

Jadi, saya ingin mencadangkan supaya kerajaan mempertimbangkan perlindungan insurans profesional, bantuan guaman, perlindungan keselamatan ketika menjalankan intervensi, sokongan psikologi. Begitu juga dengan latihan berterusan yang ditanggung oleh kerajaan, pembangunan kerjaya yang lebih jelas, jangan sampai kita terlalu sibuk menjaga kebajikan masyarakat sehingga kita terlupa menjaga kebajikan mereka yang menjadi penjaga kepada kebajikan masyarakat. Itu saja Tuan Yang di-Pertua. Terima kasih.

draft • 4:30 PM

Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor

Terima kasih Yang Berhormat Rantau Panjang. Dipersilakan Yang Berhormat Puchong.

draft • 4:30 PM

Puan Yeo Bee Yin - Puchong

Terima kasih Dato’ Yang di-Pertua kerana izinkan Puchong untuk turut serta dalam perbahasan Rang Undang-undang Profesion Kerja Sosial ini. Pertama sekali, izinkan saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada seluruh kepimpinan KPWKM kerana berjaya membentangkan RUU yang amat penting di Dewan yang mulia ini.

Dato’ Sri Speaker, ini merupakan satu pencapaian yang amat membanggakan bagi Yang Berhormat Menteri, Yang Berhormat Timbalan Menteri, Ketua Setiausaha, Timbalan Ketua Setiausaha serta seluruh pasukan kerja KPWKM.

Setelah 16 tahun, saya diberitahu bahawa RUU ini mula digubal ataupun diberi idea 16 tahun yang lalu. Setelah 16 tahun RUU ini di dalam proses, on the way, on the way, on the way, hari ini we are finally crossing the finishing line dengan izin, Dato’ Sri Speaker.

Dato’ Sri Speaker, kelulusan RUU ini amat kritikal bagi menampung keperluan pekerja sosial yang kian mendesak di era moden ini. Statistik telah pun menunjukkan jumlah kebajikan di bawah JKM telah pun melonjakkan, melonjak dengan drastik dalam tempoh lima tahun sahaja. Pada tahun 2020, kira-kira 660,000 kes, pada tahun 2025 pula lebih daripada 1,000,000 kes JKM.

RUU ini bagi saya juga berpotensi untuk membantu mengatasi masalah kekurangan pelindung di Malaysia. Untuk makluman Dato’ Sri, Dato’ Yang di-Pertua, saya adalah Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Wanita, Kanak-kanak dan Pembangunan Masyarakat. Jawatankuasa ini sering kita mengadakan pelbagai sesi taklimat ataupun lawatan kerja untuk pelbagai isu yang kita teliti. Tapi antara common challenge atau pun cabaran ketara yang sering dibangkitkan tanpa mengira apa isu yang kami teliti berkenaan dengan kanak-kanak adalah isu kekurangan bilangan pelindung di bawah Akta Kanak-Kanak [Akta 611].

Untuk makluman Dewan yang mulia ini, peranan utama pelindung di bawah Akta 611 adalah untuk memastikan setiap kanak-kanak mendapat pemeliharaan, pemulihan, perlindungan daripada sebarang bentuk penderaan, pengabaian, keganasan dan eksploitasi. Antara tugas dan tanggungjawab utama pelindung termasuk menjalankan intervensi segera demi menyelamatkan kanak-kanak yang berada dalam bahaya, didera ataupun diabaikan oleh penjaga.

Kedua, membawa dan menempatkan kanak-kanak berisiko ke institusi perlindungan ataupun tempat selamat.

Ketiga, menjalankan siasatan menyeluruh bagi setiap aduan. Keempat, menyediakan laporan akhlak untuk dikemukakan kepada mahkamah bagi kanak- kanak.

Kelima, memastikan segala keputusan mahkamah iaitu perintah ke apa ke seperti meletakkan kanak-kanak di bawah skim penjagaan peliharaan (foster care) ataupun pemantauan rasmi dipatuhi sepenuhnya.

Dato’ Sri Speaker, apabila beban kes terlalu tinggi, implikasi adalah membimbangkan. Tindak balas segera terhadap kes penderaan tidak lagi dapat dijamin manakala pemantauan pasca penyelamatan juga mudah menjadi longgar.

Malah kita sering, jawatankuasa kita, kami sering mendengar rintihan para pelindung yang mengalami burnout akibat tekanan kerja yang terlalu tinggi.

Di sinilah letaknya kepentingan RUU ini Dato’. Dengan adanya pendaftaran pekerja sosial yang sistematik melalui RUU ini, pekerja sosial sektor swasta boleh diiktiraf dan ditauliahkan sebagai pelindung bagi kes-kes yang tertentu. Langkah ini pasti akan meningkatkan kualiti dan juga kecekapan perkhidmatan pelindung kanak- kanak di Malaysia.

Dato’ Yang di-Pertua, walau bagaimanapun, di sebalik impak positif RUU ini, Puchong telah pun menerima maklum balas daripada NGO-NGO sudah tentu dan mendapati ada juga ada kelemahan ataupun loophole yang kita boleh meneliti dan meminda pada masa depan.

Pertama, di bawah fasal 2. Takrifan “perkhidmatan kerja sosial” digubal secara terlalu luas. Apabila di silang rujuk dengan fasal 31, mana-mana individu yang tidak berdaftar yang menyediakan perkhidmatan ini boleh dikenakan denda sehingga RM20,000 ataupun penjara sehingga dua tahun manakala di fasal 32, majikan mereka boleh didenda sehingga RM50,000.

Walaupun pihak kementerian menyatakan bahawa peruntukan ini tidak terpakai kepada sukarelawan. Namun kalau kita baca secara literal fasal 31(b), ia mewujudkan legal ambiguity iaitu kekaburan undang-undang yang berisiko disalah gunakan pada masa depan. Komuniti NGO di luar sana mereka bimbang bahawa peruntukan ini secara tidak sengaja akan meng-criminal-kan ribuan sukarelawan NGO, pengendali Soup Kitchen, kaunselor agama serta ahli Befrienders yang bertindak sebagai crisis aid workers.

draft • 4:34 PM

Puan Yeo Bee Yin - Puchong

Sudah tentu saya tahu KPWKM memang mereka tak akan mengkriminasikan mereka tetapi kita perlu pastikan ia watertight supaya fasal ini tidak digunakan pada masa depan oleh mereka-mereka yang nak menyalahgunakan kuasa. Dan khusus ditujukan untuk menghukum mereka yang menyamar sebagai pekerja sosial profesional dan kita make sure that it’s watertight, dia tidak boleh digunakan untuk mengkriminalkan tindakan murni ataupun volunteer yang cuba membantu komuniti.

Dato’ Speaker kalau boleh saya teruskan? Poin yang kedua yang mereka bangkitkan adalah berkenaan dengan fasal 19 yang memberikan pengecualian mutlak pendaftaran kepada pegawai awam seperti yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Rantau Panjang. Saya hendak mencadangkan supaya kerajaan merangka satu road map, pelan hala tuju yang jelas untuk mentransisikan pegawai awam yang sedia ada ke arah pendaftaran yang sama seperti pekerja sosial swasta.

Antara dua strategi yang kita boleh rujuk yang mungkin satu adalah mekanisme grandfathering clause, akreditasi pengalaman bagi pegawai-pegawai senior JKM yang mempunyai pengalaman luas tetapi tiada ijazah. Majlis boleh bekerjasama dengan IPTA untuk menukarkan pengalaman kepada kredit akademik ataupun IPTA boleh sediakan kursus modular yang jangka masa pendek tiga bulan, enam bulan, sembilan bulan untuk bagi pegawai-pegawai awam yang sedia ada untuk melanjutkan, mendapatkan kursus ini dan seterusnya mendapat akreditasi.

Dan cadangan kedua saya adalah supaya KPWKM juga tengok sama ada kursus-kursus yang disediakan oleh Institut Sosial Malaysia yang sekarang telah pun diambil dan dijalani oleh pegawai-pegawai awam, pekerja-pekerja sosial awam yang mereka yang ini boleh digunakan untuk as a replacement untuk syarat akademik ijazah tersebut.

Dan seterusnya saya juga ingin mencadangkan insentif skim perkhidmatan secara progresif untuk mencadangkan agar KPWKM boleh berbincang dengan JPA untuk menstruktur semula Skim Pembangunan Masyarakat (Skim S). Sediakan elaun profesional khas kepada pegawai awam yang berjaya berdaftar secara rasmi di bawah Majlis ini. Ini akan mengubah proses peralihan daripada kita paksa mereka untuk berdaftar kepada dorongan kerjaya yang positif kerana ada elaun ataupun insentif.

Ketiga, cadangan yang ingin saya tampilkan hari ini adalah menyentuh mengenai struktur penubuhan Majlis. Di NGO-NGO mereka juga agak bimbang berkenaan dengan struktur ini sebab di bawah fasal 3 jawatan Pengerusi dan Timbalan Pengerusi adalah disandang oleh penjawat awam manakala ahli-ahli lain dilantik sepenuhnya oleh Menteri. Oleh itu, mereka kata sama ada kita boleh mewujudkan satu memperkenalkan satu mekanisme pemilihan pada masa akan datang supaya Majlis ini adalah benar-benar independent professional body seperti Bar Council dan lain-lain. Selain itu, kuasa pembatalan di bawah pembatalan keahlian oleh Menteri di bawah fasal 10 juga mesti bersandarkan kepada alasan statutori yang jelas dan juga telus.

Dato’ Yang di-Pertua, secara keseluruhannya Puchong menyokong penuh agar RUU Profesion Kerja Sosial ini diluluskan pada hari ini walaupun kita sedar mempunyai beberapa kelemahan dan juga ruang penambahbaikan. Kita juga telah pun menanti selama enam belas tahun dan kita perlulah meluluskan RUU pada hari ini juga. Bak bata mutiara Winston Churchill, “perfection is enemy of progress”. Mari kita luluskan RUU ini dan kita membuat penambahbaikan pada masa akan datang.

Dengan itu Puchong menyokong. Sekian, terima kasih.

draft • 4:40 PM

Timbalan Yang di-Pertua - Dato' Dr Ramli bin Dato' Mohd Nor

Terima kasih Yang Berhormat Puchong. Dipersilakan Yang Berhormat Maran.

draft • 4:40 PM

Dato’ Sri Dr. Haji Ismail bin Abd Muttalib - Maran

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua kerana izinkan saya untuk turut membahaskan Rang Undang-undang Profesion Kerja Sosial 2026.

Secara prinsipnya saya menyokong usaha kerajaan untuk memprofesionalkan bidang kerja sosial. Pendaftaran perakuan amalan piawaian kompetensi dan tindakan tatatertib memang diperlukan. Namun, RUU ini tidak boleh dinilai hanya daripada sudut bagaimana pengamal dikawal. Kita juga perlu menilai nilai yang membentuk profesion, siapa yang termasuk di dalam skop profesion, kandungan peraturan yang akan mengikat pengamal dan hak orang yang menerima perkhidmatan.

Saya ingin membaca sedutan firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 177.

[Membaca sepotong ayat al-Quran] Maksudnya, “Bukanlah perkara kebajikan itu hanya kamu menghadapkan muka kamu ke pihak timur dan barat tetapi kebajikan itu ialah berimannya seseorang kepada Allah dan hari akhirat dan segala malaikat dan segala kitab dan segala sekalian nabi, yang mendermakan seseorang akan hartanya sedang ia menyayanginya, kepada kaum kerabat dan anak-anak yatim dan orang miskin dan orang yang terlantar dalam perjalanan dan kepada orang yang meminta hingga akhir maksudnya”. Dato’ Yang di-Pertua, saya ingin menyampaikan maksud Surah al-Baqarah 177 ini secara ringkas. Kebajikan bukan sekadar pada bentuk lahiriah tetapi pada iman yang diterjemahkan kepada tindakan menyantuni kaum yang diterjemahkan kerabat, anak yatim, orang miskin,musafir dan orang yang memerlukan, menunaikan janji serta bersabar ketika kesempitan dan kesusahan. Ayat ini memberikan asas yang sangat jelas. Kebajikan bukan sekadar urusan bantuan dan prosedur, kebajikan ialah amanah yang menghubungkan nilai, tindakan dan tanggungjawab terhadap manusia.

Dato’ Yang di-Pertua, saya ingin membangkitkan tiga perkara. Yang pertama ialah kerja sosial mesti mempunyai asas nilai Islam yang jelas. Kerja sosial bukanlah urusan pentadbiran semata-mata, pengamal terlibat secara langsung dalam aspek paling peribadi kehidupan seseorang. Mereka menilai konflik keluarga, keselamatan kanak-kanak, kebajikan warga emas, kerahsiaan maklumat serta bentuk intervensi yang boleh mempengaruhi kehidupan penerima perkhidmatan. Keputusan sedemikian tidak pernah terpisah daripada pertimbangan nilai.

Oleh sebab itu, piawaian kerja sosial di Malaysia mesti berteraskan prinsip Islam seperti amanah, ihsan, keadilan dan pencegahan kemudaratan. Saya tidak mencadangkan supaya agama dipaksa terhadap penerima perkhidmatan bukan Islam, sebaliknya prinsip Islam perlu diterjemahkan kepada tanggungjawab profesion yang melindungi maruah, keselamatan, kebajikan setiap manusia.

Fasal 4 memperuntukkan kepada Majlis fungsi untuk membangunkan piawaian kompetensi profesional, menjamin kualiti program serta mengawal selia etika dan kelakuan pengamal. Namun demikian, rang undang-undang ini tidak menyatakan secara khusus asas nilai yang perlu membimbing Majlis dalam melaksanakan fungsi tersebut.

Oleh itu saya meminta supaya fasal 4 ditambah baik agar pembangunan piawaian kompetensi mengambil kira prinsip-prinsip nilai pengamal pengetahuan tempatan di samping menjamin penghormatan terhadap maruah, keselamatan, persetujuan serta kebebasan beragama setiap penerima perkhidmatan.

Kedua ialah skop profesion dan peraturan teras mesti dijelaskan sebelum akta dikuatkuasakan. Soalan saya adakah pegawai kerja sosial perubatan di hospital kerajaan termasuk dalam profesion yang dikawal selia di bawah rang undang- undang ini?

Fasal 2 memberikan takrif umum tentang perkhidmatan kerja sosial tetapi tidak menyebut kerja sosial perubatan secara khusus. Jika kumpulan ini termasuk di dalam skop RUU ini tetapi dianggap seperti pegawai awam yang tidak diwajibkan memegang perakuan amalan. Kita menjalankan tugas rasmi, adakah mereka tetap tertakluk kepada piawaian kompetensi kod etika pembangunan profesional dan proses aduan majlis.

Yang ketiga, hak penerima perkhidmatan mesti dinyatakan secara jelas di dalam akta. Rang udang-undang ini menetapkan kewajipan kerahsiaan dan menyediakan proses aduan namun ia belum menghimpunkan hak asasi penerima perkhidmatan dalam satu peruntukan yang jelas.

Saya mencadangkan pindaan untuk memasukkan satu fasal khusus mengenai hak penerima perkhidmatan. Fasal itu sekurang-kurangnya perlu menjamin hak kepada maruah dan keselamatan. Maklumat dalam bahasa yang difahami, persetujuan termaklum, kerahsiaan, layanan tanpa diskriminasi, kebebasan daripada pemaksaan dan akses kepada mekanisme aduan yang mudah.

Dato’ Yang di-Pertua, profesion kerja sosial ini adalah satu amanah dan tanggungjawab bukan sekadar jawatan. Ia perlu dilakukan dengan jujur dan ikhlas.

Sebab itu beberapa peraturan dan garis panduan terpaksa dibentuk.

draft • 4:44 PM

Dato’ Sri Dr. Haji Ismail bin Abd Muttalib - Maran

Fasal 6 peraturan-peraturan telah— 6, peraturan telah dikenal pasti iaitu antaranya:

(i) peraturan-peraturan berkaitan perakuan amalan sementara dan perakuan interim;

(ii) peraturan-peraturan profesion kerja sosial;

(iii) peraturan-peraturan profesion kerja sosial kod tatakelakuan;

(iv) peraturan-peraturan profesion kerja sosial prosedur aduan;

(v) peraturan-peraturan profesion kerja sosial prosiding tatatertib; dan

(vi) peraturan-peraturan profesion kerja sosial prosedur rayuan.

Majlis dan ahli majlis dilantik bertanggungjawab untuk memastikan kelangsungan program ini. Anggota majlis boleh dibayar dan mesyuarat— dibayar elaun mesyuarat. Saya tidak mahu ahli-ahli majlis yang duduk dalam majlis ini sekadar mendapatkan elaun, tetapi amanah tidak dijalankan dan perjalanan penubuhan majlis profesion ini akan hanya menjadi sebagai satu organisasi yang tidak berkesan.

Di samping itu, pihak berkuasa tatatertib juga, Jawatankuasa Penyiasatan perlu lebih diberikan kuasa supaya berfungsi agar tindakan-tindakan yang tidak harus berlaku dalam menjalankan tugas profesion masyarakat ini dapat dielakkan.

Kita tidak boleh membina undang-undang yang terperinci tentang kuasa majlis dan kewajiban pengamal, tetapi terlalu ringkas tentang manusia yang hendak dilindungi.

Oleh itu, saya mencadangkan supaya perhatian perlulah diberikan dalam kita mengemaskinikan cadangan penubuhan rang undang-undang ini, bagi memastikan peranan tanggungjawab sosial yang dilakukan kepada masyarakat negara ini, dapat kita realisasikan sebaik-baiknya dan akhirnya, kita melahirkan suasana masyarakat yang lebih terjamin, aman, makmur dan sejahtera.

Dato' Yang di-Pertua, ketiga-tiga perkara di atas dan ini berpunca daripada prinsip yang sama. Kuasa profesional ialah suatu amanah. Saya menyokong penuh memprofesionalkan kerja sosial ini. Namun, kerajaan perlu memastikan piawaian profesion mempunyai satu asas nilai Islam dan moral yang jelas, skop pengamal dan peraturan teras tidak kabur serta hak penerima perkhidmatan dinyatakan dalam akta.

Undang-undang ini tidak sekadar perlu mengawal pengamal, ia mesti membina profesion yang amanah, jelas dan benar-benar melindungi masyarakat.

Dato' Yang di-Pertua, saya rasa yakin bahawa andai kata kesungguhan ini dapat kita lakukan, insya-Allah kita akan dapat melahirkan suasana masyarakat yang lebih terjamin, walaupun mereka berhadapan dengan berbagai masalah kehidupan di akhir-akhir ini. Terima kasih Dato' Yang di-Pertua. Saya mohon menyokong.

draft • 4:50 PM

Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor

Terima kasih Yang Berhormat Maran. Dipersilakan Yang Berhormat Putatan.

draft • 4:50 PM

Datuk Ir. Shahelmey bin Yahya - Putatan

Terima kasih Dato' Yang di- Pertua. Sebagai permulaan, Putatan ingin merujuk kepada fasal 34 yang memperuntukkan imuniti undang-undang kepada anggota Majlis Profesion Pekerja Sosial. Imuniti tersebut dikhuatiri boleh dieksploitasi bagi tujuan tertentu yang boleh mengundang krisis keyakinan umum terhadap profesion pekerja sosial di negara ini.

Pembinaan kredibiliti Majlis Profesion Pekerja Sosial merupakan asas penting dalam melahirkan profesional-profesional yang boleh berhikmat sebagai pekerja sosial yang dihormati dan berketerampilan. Oleh sebab itu, aspek pemberian akreditasi atau perakuan amalan pekerja sosial perlu dititikberatkan bagi memastikan setiap permohonan dinilai mengikut kewajaran pengalaman dan kemahiran.

Bagi memastikan mutu pekerjaan sosial di negara ini dinilai dari masa ke semasa, Putatan berpendirian bahawa satu laporan prestasi tahunan pekerjaan sosial disediakan oleh majlis. Pembentangan laporan prestasi tahunan tersebut perlu dilaksanakan untuk rakyat mengukur prestasi sebenar perkhidmatan pekerja sosial yang telah diperakukan bagi satu-satu tahun. Laporan prestasi tersebut juga perlu diwartakan sepertimana Laporan Tahunan SUHAKAM yang memperincikan setiap skop pemantauan dan penilaian terhadap perkhidmatan.

Sehubungan dengan perkara tersebut, Putatan ingin mengesyorkan agar laporan prestasi tahunan tersebut, dibentangkan kepada Parlimen menerusi perhatian jawatankuasa pilihan khas. Penilaian terhadap laporan prestasi tersebut penting untuk dinilai secara bersama oleh Jawatankuasa Pilihan Wanita, Kanak- kanak dan Pembangunan Masyarakat bagi memastikan Majlis serta jawatankuasa- jawatankuasa yang ditubuhkan di bawahnya benar-benar bertanggungjawab terhadap prestasi pekerja sosial yang ditempatkan mengikut lokaliti.

Mekanisme semakan bersama oleh cabang legislatif yang dimaksudkan oleh Putatan tersebut adalah penting. Antaranya, untuk memastikan setiap permohonan dihantar mengikut saluran yang betul dan ditapis menerusi rantaian proses yang sepatutnya. Wakil-wakil legislatif yang menganggotai Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen boleh melaksanakan pengauditan untuk meneliti kewajaran pemberian, kelulusan serta metodologi penilaian permohonan yang dilaksanakan di peringkat majlis.

Semakan prestasi tersebut juga boleh menilai keberkesanan pelatih kerja sosial dalam meningkatkan kemahiran pekerja sosial dalam mengendalikan satu- satu tugas di lapangan. Kebersamaan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen dalam melaksanakan peranan semak dan imbang tersebut, berupaya mengeratkan lagi ruang kerjasama legislatif eksekutif dalam menjayakan agenda kemaslahatan sosial, khususnya di peringkat negeri.

Oleh yang demikian, Putatan ingin mencadangkan, agar majlis dapat memperuntukkan sekurang-kurangnya enam orang profesional dari negeri Sabah iaitu tiga orang daripada sektor awam dan tiga orang daripada sektor swasta untuk menjadi anggota. Komposisi keanggotaan wakil Sabah yang Putatan cadangkan itu berupaya menjadi dorongan penting kepada profesional-profesional daripada pelbagai latar belakang untuk berhikmat sebagai pekerja sosial di negeri kelahiran mereka.

Profesional Sabah yang menganggotai Majlis Profesion Pekerja Sosial Malaysia, boleh memanfaatkan kedudukan mereka untuk mempromosikan agenda pekerjaan sosial secara meluas di samping mewujudkan jaringan dengan komuniti- komuniti setempat.

Komposisi keanggotaan tersebut juga boleh diterjemahkan kepada usaha jangka panjang untuk memperkasakan perkhidmatan kebajikan yang berakreditasi untuk memenuhi keperluan sosial di satu-satu lokaliti. Perwakilan yang mewakili setiap wilayah dan negeri perlu menjadi suara dalam menyampaikan saranan serta pandangan yang boleh menghasilkan penambahbaikan kepada aktiviti pekerjaan sosial yang dijalankan di negeri masing-masing.

Akhir sekali, Putatan mengharapkan agar Akta Profesion Pekerja Sosial 2026 ini, dapat menjadi batu loncatan kepada Malaysia untuk mencapai aspirasi kemaslahatan sosial yang digariskan dalam Rancangan Malaysia Ketiga Belas.

Pengiktirafan terhadap profesion pekerja sosial nanti, perlu menjadi antara dukungan penting yang boleh memperluaskan lagi capaian masyarakat kepada pelbagai skop bantuan sosial yang bermanfaat untuk kelangsungan hidup mereka.

Dato' Yang di-Pertua, sekian saja ucapan perbahasan Putatan bagi Rang Udang-undang Profesion Pekerja Sosial 2026. Putatan mohon menyokong.

draft • 4:53 PM

Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor

Terima kasih Yang Berhormat Putatan. Dipersilakan Yang Berhormat Kuala Krai.

draft • 4:53 PM

Tuan Haji Abdul Latiff bin Abdul Rahman - Kuala Krai

Bismillahirrahmanirrahim. Terima kasih Dato' Dr. Yang di-Pertua kerana memberi peluang kepada Kuala Krai untuk turut sama dalam perbahasan Rang Udang- undang Profesion Kerja Sosial 2026.

Dato' Yang di-Pertua, kerja sosial adalah profesion yang menggunakan ilmu, kemahiran dan etika profesional untuk membuat penilaian, intervensi, advokasi, pemulihan dan pengurusan kes. Kerja sosial bukanlah sekadar kerjaya, ia adalah satu bentuk nadi kemanusiaan yang menyambung harapan mereka yang terputus asa. Rang undang-undang ini telah dibangunkan sejak tahun 2010 dan amat penting bagi memperkukuh serta memartabatkan profesion kerja sosial di negara ini. Melalui penetapan piawaian yang jelas, akauntabiliti serta kod etika profesional. Kuala Krai ingin mengusulkan beberapa penambahbaikan yang Kuala Krai percaya akan memberi nafas baharu kepada RUU ini, sebahagiannya adalah hasil pandangan daripada pihak NGO yang memperjuangkan isu ini.

Tuan Yang di-Pertua, merujuk kepada fasal 3, Majlis Profesion Kerja Sosial, kita tidak mahu Majlis ini hanya menjadi cawangan kementerian. Saya menyeru agar kita berani membenarkan pengamal kerja sosial yang berpengalaman mengetuai Majlis ini. Biarlah kepakaran teknikal, memacu hal tuju profesion ini, bukannya hierarki pejabat.

draft • 4:58 PM

Tuan Haji Abdul Latiff bin Abdul Rahman - Kuala Krai

Ini amat berbeza dengan badan profesion lain seperti Majlis Perubatan Malaysia dan Majlis Peguam Malaysia kerana Majlis Profesion Kerja Sosial Malaysia yang dicadangkan tidak memberi ruang kepada profesion itu sendiri memilih kepimpinannya melalui proses pilihan raya.

Sebaliknya pengerusi, timbalan pengerusi merupakan penjawat awam manakala semua ahli lain dilantik oleh Menteri. Keadaan ini menjadikan majlis tersebut tidak menyerupai sebuah, lebih menyerupai— keadaan ini menjadikan majlis tersebut lebih menyerupai sebuah jabatan kerajaan berbanding sebuah badan profesional yang mengawal selia profesionnya sendiri. Kita mahu sebuah model yang menjadikan pengamal kerja sosial Malaysia bukan sahaja diiktiraf dalam negara, malah disegani di peringkat antarabangsa.

Tuan Yang di-Pertua, fasal 10 dan 23 yang memberikan kuasa kepada menteri untuk membatalkan pelantikan tanpa memberi sebab adalah terlalu luas dan boleh mencetuskan ketidaktentuan. Saya mencadangkan agar alasan rasmi diwajibkan bagi setiap pembatalan. Selain itu, bagi jawatankuasa tatatertib, kehadiran pegawai awam daripada kementerian yang sama dalam prosiding tatatertib mewujudkan persepsi berat sebelah. Kita perlu melantik ahli akademik atau wakil bebas agar keadilan bukan sahaja dilakukan malah dilihat dilakukan.

Dato’ Yang di-Pertua, fasal 16 berkaitan dana majlis. Kebergantungan kepada peruntukan tahunan kerajaan di bawah arahan Menteri boleh merancakkan kebebasan majlis. Saya mencadangkan agar majlis diberikan kuasa untuk menguruskan tabung sendiri atau sekurang-kurangnya mempunyai dana berkanun yang tidak boleh ditarik balik dengan mudah. Ini akan memastikan majlis dapat menjalankan fungsi kawal selia secara bebas tanpa bimbang akan gangguan belanjawan.

Dato’ Yang di-Pertua, fasal 19(8) layanan dua darjat. Kita mahu piawaian emas dalam kerja sosial. Maka, mengapa harus ada pengecualian bagi pegawai awam yang dikecualikan daripada keperluan memiliki sijil amalan atau kelayakan profesional apabila memberikan perkhidmatan kerja sosial dalam menjalankan tugas rasmi mereka? Jika benar— jika kita benar-benar mahukan kualiti, letakkan satu standard yang universal. Jabatan Kebajikan Masyarakat dan agensi kerajaan lain yang mengendalikan kes-kes kritikal sepatutnya dianggotai oleh pekerja sosial profesional yang terlatih, bukannya individu yang tidak mempunyai latihan khusus tetapi mengendali kes-kes kompleks.

Dato’ Yang di-Pertua, fasal 20(1) seseorang yang bukan warganegara Malaysia yang berhasrat untuk memberikan perkhidmatan sosial, perkhidmatan kerja sosial. Isu bukan warganegara ini perlu dinilai dengan penuh cermat dan teliti kerana dibimbangi akan mengambil peluang menyebarkan pelbagai ajaran, sama ada berkaitan agama atau ajaran sesat yang bercanggah dengan perlembagaan agama rasmi negara dan amalan budaya penduduk setempat kepada pelanggan ataupun penerima perkhidmatan.

Dato’ Yang di-Pertua, fasal 28 memberikan kuasa rayuan akhir kepada Menteri. Ini secara tidak langsung mempolitikkan prosiding profesional. Saya mencadangkan pembentukan tribunal rayuan yang bebas yang dianggotai oleh pakar perundangan dan pakar kerja sosial. Ini bagi memastikan pengamal kerja sosial yang terkilan atau tidak berpuas hati mendapat keadilan melalui saluran yang objektif, bukannya berasaskan budi bicara politik.

Dato’ Yang di-Pertua, point yang terakhir ialah fasal 31, memperuntukkan kesalahan jenayah. Ahli-ahli Yang Berhormat sebelum saya telah membangkitkan isu ini. Di bawah fasal 31(1)(b), hanya pengamal kerja sosial atau pelatih kerja sosial dibenarkan memberikan perkhidmatan kerja sosial.

Mana-mana individu yang tidak berdaftar tetapi memberikan perkhidmatan kerja sosial boleh dikenakan denda sehingga RM20,000 dan, atau penjara sehingga dua tahun. Manakala, majikan mereka boleh denda sehingga RM50,000.

Rang undang-undang ini gagal membuat perbezaan yang jelas antara pekerja sosial profesional yang mempunyai latihan dan kelayakan khusus dengan individu yang hanya terlibat dalam aktiviti kesukarelawan dan kerja sosial seperti pekerja komuniti, kakitangan NGO atau individu-individu yang membantu masyarakat sama ada secara berbayar atau sukarela.

Memandangkan takrif perkhidmatan kerja sosial dalam fasal 2 terlalu luas, rang undang-undang ini berpotensi menjadikan ribuan sukarelawan NGO, pengendali dapur rakyat percuma, kaunselor berasaskan agama, sukarelawan sokongan emosi serta petugas bantuan krisis sebagai pesalah jenayah.

Jika seorang sukarelawan yang tidak mempunyai pensijilan tampil membantu mangsa krisis atau memberi sokongan kepada komuniti, beliau serta NGO yang diwakilinya boleh didakwa di mahkamah. Oleh itu, takrif dalam fasal 2 perlu diperhalusi supaya terdapat pemisahan yang jelas antara kerja sosial profesional yang memerlukan kompetensi khusus dengan bantuan kemanusiaan dan kesukarelawanan masyarakat.

Dato’ Yang di-Pertua, sebagai penutup, undang-undang sepatutnya melindungi penggunaan gelaran pekerja sosial daripada disalahgunakan, bukannya menghukum individu yang membantu masyarakat. RUU ini adalah langkah permulaan, namun ia perlukan sentuhan magis, pindaan yang saya sebutkan tadi agar ia menjadi undang-undang yang benar-benar memerdekakan profesion kerja sosial di tanah air kita.

Akhirnya, saya ingin tegaskan, kita gubal undang-undang yang bukan sekadar mengikat tetapi undang-undang yang mengangkat martabat. Tahniah kepada kementerian atas kejayaan membentang RUU ini. Sekian, terima kasih Dato’ Yang di-Pertua.

draft • 5:00 PM

Timbalan Yang di-Pertua - Dato' Dr. Ramli bin Dato' Mohd Nor

Terima kasih Yang Berhormat Kuala Krai. Dipersilakan, Yang Berhormat Wangsa Maju.

draft • 5:00 PM

Tuan Ir. Ts. Zahir bin Hassan - Wangsa Maju

Assalamualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh dan salam sejahtera. Dato’ Yang di-Pertua, terima kasih atas peluang yang diberikan untuk saya mengambil bahagian dalam perbahasan Rang Undang-undang Profesion Kerja Sosial yang dibentangkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Pendirian saya adalah sokongan bersyarat. Saya menyokong semangat RUU ini dan mengambilnya sebagai satu permulaan yang sangat baik. Malah, long overdue, dengan izin. Akan tetapi, ia bukannya garis penamat. Malaysia antara negara terakhir di ASEAN yang belum mengawal selia profesion kerja sosial secara perundangan.

Filipina telah memulakannya sejak tahun 1965, Singapura pula tahun 2009, Thailand 2013, Indonesia 2019. Nisbah pekerja sosial berbanding penduduk kita pula dianggarkan satu pekerja sosial kepada 8,576 pada tahun 2019. Ia telah bertambah kepada satu pekerja sosial kepada 9,885 pada suku pertama 2026. Berbandingkan dengan Amerika Syarikat, nisbahnya satu kepada 490 dan United Kingdom, nisbahnya satu kepada 3,025.

Antara 2020 hingga 2022 pula, JKM mencatatkan 18,750 kes penderaan kanak-kanak sahaja. Angkanya menggambarkan betapa mendesaknya keperluan tenaga kerja sosial yang terlatih dan bertauliah. Justeru, hasrat mewujudkan Majlis Profesion Kerja Sosial untuk mengiktiraf, mendaftar dan mengawal selia amalan profesion ini adalah wajar dan sudah tiba masanya.

Namun, niat baik sahaja tidak mencukupi untuk sesuatu undang-undang itu berkesan. Namun, terdapat lima sudut kritikal yang perlu diperhalusi. Yang pertama, dan pada saya paling kritikal, RUU hanya mewajibkan pendaftaran sektor swasta dan NGO, mengecualikan pekerja sosial awam di JKM.

Walaupun mereka menjalankan tanggungjawab statutori perlindungan kanak-kanak dan hanya kira-kira 30 peratus memenuhi kelayakan minimum profesional, ini mewujudkan dua piawaian bagi satu profesion yang sama.

Bertentangan dengan saranan Jawatankuasa PBB mengenai hak kanak-kanak yang menegaskan keperluan piawaian seragam merentasi semua sektor.

Saya faham kebimbangan kementerian tentang risiko kehilangan pekerjaan bagi kakitangan tidak berkelayakan tetapi penyelesaiannya bukan pengecualian kekal. Perlu wujudkan satu garis masa yang mengikat untuk memasukkan sektor awam secara berperingkat dan disertai laluan pengiktirafan pengalaman.

Yang kedua, ramai pengamal sedia ada berkhidmat tanpa kelayakan formal, khususnya di NGO akar umbi. RUU perlu memperuntukkan peralihan yang adil, laluan pengiktirafan pengalaman, bukannya penyingkiran.

Ketiga, kapasiti dan sumber kewangan Majlis Profesion Kerja Sosial mesti jelas. Dari mana sumber pembiayaan operasi dan beberapa bilangan kah kakitangan yang akan diperuntukkan untuk pendaftaran, pemeriksaan, pematuhan dan siasatan aduan merentasi seluruh negara supaya majlis ini tidak mewarisi masalah kekurangan sumber seperti banyak badan pengawal selia profesion lain.

Keempat, memandangkan jurang tenaga kerja sedia ada begitu serius, regulasi yang menetapkan syarat kelayakan lebih ketat mesti disertai dengan pelaburan serentak dalam pembangunan tenaga kerja, biasiswa pengajian kerja sosial, skim perkhidmatan dan gaji berdaya saing serta kerjasama dengan institusi pengajian tinggi supaya regulasi ini tidak secara tidak sengaja memburukkan lagi kekurangan tenaga kerja sedia ada.

draft • 5:05 PM

Tuan Ir. Ts. Zahir bin Hassan - Wangsa Maju

Kelima, skop amalan dan perlindungan gelaran pekerja sosial perlu jelas bagi mengelakkan pertindihan dengan perundangan sedia ada seperti Akta Kanak-Kanak 2001.

Tuan Yang di-Pertua, kerja sosial ada profesion yang memegang jahitan yang mengikat masyarakat kita. Mereka yang berdiri di barisan hadapan melindungi kanak-kanak yang didera, memulihkan mangsa keganasan rumah tangga dan menyokong golongan paling terpinggir. Mereka layak mendapat pengiktirafan struktur kerjaya dan perlindungan undang-undang yang setimpal dengan tanggungjawab besar yang mereka pikul.

Saya menyokong semangat RUU ini, tetapi sokongan penuh dan ikhlas saya bergantung kepada kesediaan kementerian menangani sudut-sudut kritikal tadi khususnya isu pengecualian sektor awam yang pada pandangan saya adalah kecacatan paling asas yang perlu bagi benar-benar memperkasakan RUU ini. Sekian Dato’ Yang di-Pertua, terima kasih.

draft • 5:10 PM

Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor

Terima kasih Yang Berhormat Wangsa Maju. Berikut dipersilakan Yang Berhormat Padang Terap.

draft • 5:10 PM

Tuan Nurul Amin bin Hamid - Padang Terap

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, terima kasih Dato’ Yang di-Pertua. Malaysia sedang berhadapan dengan cabaran sosial yang semakin kompleks dan membimbangkan.

Kes penderaan kanak-kanak, masalah kesihatan mental serta keganasan rumah tangga terus menunjukkan trend peningkatan sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Keadaan ini menuntut satu sistem perlindungan sosial yang lebih mantap khususnya melalui penglibatan pekerja sosial yang profesional dan berkemahiran bagi melindungi golongan yang paling terdedah dalam masyarakat.

Walau bagaimanapun, kapasiti tenaga sosial negara masih belum mencukupi. Nisbah pekerja sosial berbanding jumlah penduduk masih jauh lebih rendah berbanding banyak negara maju. Kekurangan ini menyebabkan beban kes pengurusan semakin meningkat, sekali gus memberikan kesan terhadap kecekapan dan keberkesanan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

Dalam masa yang sama, kekangan perjawatan dalam sektor awam khususnya di Jabatan Kebajikan Masyarakat menjadikan kerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan, sektor swasta dan pengamal pekerja sosial bebas bukan lagi satu pilihan tetapi satu keperluan strategik untuk memperkukuhkan jaringan kebajikan dan perlindungan sosial negara.

Saya ingin membawa dua perkara utama dalam akta ini agar bukan menjadi sekadar akta pendaftaran profesion tetapi benar-benar menjadi akta yang memperkukuhkan sistem kebajikan dan sosial negara. Pertama, krisis sebenar bukan sekadar kualiti pekerja sosial tetapi kekurangan pekerja sosial.

Data menunjukkan bahawa kes yang dikendalikan oleh JKM meningkat 663,628 kes pada tahun 2020 kepada lebih 1.01 juta kes pada tahun 2025 iaitu peningkatan lebih 50 peratus dalam tempoh lima tahun. Lebih membimbangkan, nisbah pekerja sosial di Malaysia kini hanya satu pekerja sosial bagi hampir 9,885 penduduk, jauh ketinggalan berbanding Singapura, United Kingdom, Australia dan Amerika Syarikat mengikut satu kajian yang dijalankan oleh MAMPU pada tahun 2019. Ini menunjukkan masalah utama negara ialah kapasiti bukannya semata-mata kompetensi.

Saya ingin bertanya kepada pihak Menteri, selepas akta ini — jika akta ini diluluskan, adakah kerajaan mempunyai sasaran untuk menambah perjawatan kerja sosial di seluruh negara? Apakah perancangan kerajaan untuk melahirkan lebih ramai pekerja profesional sosial di dalam negara kita?

Yang kedua, jangan sampai akta ini menjadi penghalang kepada NGO dan masyarakat yang selama ini membantu kerajaan.

Tuan Yang di-Pertua, saya ingin menyentuh satu perkara yang melibatkan NGO dan badan kesukarelawan di negara kita. Saya menghargai penjelasan kementerian bahawa RUU ini tidak terpakai kepada sukarelawan atau individu yang menjalankan kerja penjagaan care walk. Justeru, mereka tidak diwajibkan berdaftar di bawah akta ini. Namun begitu, saya melihat masih terdapat beberapa perkara yang memerlukan penjelasan lanjut supaya pelaksanaannya tidak menimbulkan kekeliruan di lapangan.

Pertama, fasal 19 mewajibkan seorang yang ingin memberikan perkhidmatan kerja sosial mendapatkan perakuan amalan daripada majlis. Manakala fasal 31, memperuntukkan bahawa mana-mana individu yang memberikan perkhidmatan kerja sosial atau menggelar kan dirinya sebagai pengamal kerja sosial tanpa pendaftaran, melakukan suatu kesalahan yang boleh didenda sehingga RM20,000 atau dipenjarakan sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Persoalannya, di lapangan nanti adakah semua NGO benar-benar memahami perbezaan antara aktiviti kesukarelawanan dengan amalan kerja sosial profesional? Saya bimbang jika tiada garis panduan yang jelas, sesetengah NGO akan menjadi terlalu berhati-hati sehingga mengurangkan program kebajikan kerana khawatir dianggap melaksanakan amalan kerja sosial yang memerlukan pendaftaran.

Kedua, fasal 32 menetapkan bahawa seorang majikan tidak boleh menggaji individu sebagai pengamal kerja sosial melainkan individu tersebut berdaftar di bawah akta ini. Jika berlaku perlanggaran, hukumannya sehingga RM50,000 atau penjara atau tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Ini bermakna NGO yang menawarkan perkhidmatan kerja sosial secara profesional perlu memastikan kakitangannya mematuhi syarat kelayakan, menjalani latihan, mendaftar dengan majlis dan mematuhi piawaian etika. Sudah tentu langkah ini baik untuk meningkatkan profesional, namun ia juga meningkatkan kos pematuhan khususnya kepada NGO kecil yang bergantung kepada sumbangan orang ramai.

Ketiga, saya juga ingin menarik kepada perhatian-perhatian kepada fasal 4(f) yang memberi fungsi kepada majlis untuk berunding dan menilai peluasan pemakaian akta ini pada masa depan. Justeru, saya ingin mendapatkan jaminan daripada Yang Berhormat Menteri, bahawa jika skop akta ini diperluaskan pada masa hadapan, ia tidak akan menjejaskan ribuan NGO, badan kebajikan, institusi masjid, badan dakwah sukarelawan yang selama ini menjadi rakan strategik kepada kerajaan dalam menyampaikan perkhidmatan kepada masyarakat.

Sebagai penutup, saya menyokong RUU ini kerana ia merupakan satu langkah ke hadapan. Namun kejayaan akta ini tidak boleh diukur melalui berapa ramai pengamal kerja sosial yang didaftarkan ataupun berapa banyak tindakan tatatertib yang diambil. Sebaliknya, kejayaan diukur apabila tempoh menunggu bantuan semakin singkat. Lebih ramai pekerja sosial ditempatkan di daerah-daerah dan rakyat yang berdepan dengan kemiskinan, penderaan, masalah kesihatan mental serta krisis keluarga menerima intervensi yang lebih cepat dan berkualiti.

Terima kasih Dato’ Yang di-Pertua.

draft • 5:11 PM

Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor

Terima kasih Yang Berhormat Padang Terap. Selanjut dipersilakan Yang Berhormat Kepong.

draft • 5:11 PM

Tuan Lim Lip Eng - Kepong

Terima kasih Dato’ Yang di-Pertua. Saya menyokong usaha mengiktiraf kerja sosial sebagai profesion. Namun, RUU ini masih mempunyai jurang akauntabiliti, kelemahan proses tatatertib dan beberapa kesilapan penggubalan yang boleh menimbulkan masalah apabila dikuatkuasakan.

Pertama, fasal 19(8) membenarkan pegawai awam memberikan perkhidmatan kerja sosial dalam tugas rasmi tanpa perakuan amalan. Kuasa tatatertib majlis pula hanya meliputi pengamal dan pelatih yang memegang perakuan. Oleh itu, pegawai awam tersebut tidak tertakluk kepada sistem pendaftaran dan tatatertib profesional di bawah RUU ini. Standard profesional tidak patut berubah mengikut majikan.

Laksanakan pendaftaran secara berperingkat kepada semua yang benar- banar beramal sebagai pekerja sosial termasuk pegawai kerajaan. New Zealand mewajibkan seseorang yang beramal sebagai pekerja sosial berdaftar beramal dalam skop yang diluluskan dan memegang perakuan amalan semasa kecuali keadaan pihak seperti kecemasan.

Kedua, rayuan terhadap penolakan pendaftaran, penggantungan sementara dan hukuman tatatertib dibuat kepada Menteri. Menteri juga melantik semua anggota majlis yang bukan anggota kerana jawatan dan boleh membatalkan pelantikan mereka tanpa memberikan sebab walaupun arahan Menteri kepada majlis di bawah fasal 12 hanya bersifat am. Rayuan yang menentukan kerjaya seseorang wajar diputuskan oleh badan bebas. Di New Zealand, keputusan lembaga dan tribunal boleh dirayu kepada mahkamah.

Ketiga, jawatankuasa tatatertib dipengerusikan oleh anggota majlis dan boleh dianggotai anggota majlis serta pegawai awam. RUU ini hanya menjamin peluang membuat representasi. Ia tidak menyatakan dengan jelas hak menerima bukti, diwakili peguam, memanggil saksi, mencabar keterangan atau menerima alasan bertulis.

New Zealand memperbaharui undang-undangnya nya pada tahun 2025.

Tribunal tatatertibnya mempunyai pengerusi atau timbalan pengerusi yang merupakan peguam berpengalaman, anggota pekerja sosial dan anggota awam.

Anggota lembaga tidak boleh menganggotai tribunal. Malaysia patut menggunakan pemisahan yang sama.

Keempat, fasal 26 membenarkan majlis menggantung perakuan jika difikirkannya patut bagi tempoh yang diputuskan oleh majlis. Memang terdapat rayuan kepada Menteri tetapi RUU ini tidak menetapkan ujian risiko kepada orang awam, tempoh awam maksimum, semakan berkala atau kewajipan memberikan alasan.

draft • 5:17 PM

Tuan Lim Lip Eng - Kepong

Di New Zealand, penggantungan interim mesti berasaskan alasan munasabah, tempoh awal dihadkan kepada 10 hari bekerja, sebarang lanjutan mesti munasabah dan perlu, manakala keputusan mesti bertulis serta disertakan alasan.

Kelima, fasal 28(3) mempunyai kecacatan yang serius jika Menteri mengesahkan apa-apa keputusan tatatertib di bawah fasal 27, perayu hendaklah dihalang daripada mengamalkan kerja sosial bagi tempoh yang ditentukan majlis.

Fasal 27 turut merangkumi amaran bacaan literalnya boleh melibatkan seseorang yang hanya diberi amaran menerima larangan bekerja selepas merayu. Peruntukan ini mesti dipadam atau dihadkan kepada hukuman penggantungan dan pengeluaran daripada daftar.

Keenam, fasal 29 dan 30, terlalu keras. Kegagalan memaklumkan perubahan maklumat dalam 30 hari ialah kesalahan selepas sabitan bagi mana-mana kesalahan di bawah akta, namun wajib dikeluarkan dan tidak boleh dimansuhkan semula.

Kesalahan pentadbiran boleh menamatkan kerjaya secara kekal. Hukuman mesti mengikut tahap keseriusan. New Zealand menyediakan pilihan seperti seliaan, syarikat amalan, latihan tambahan, penggantungan dan pembatalan pendaftaran.

Tribunal juga mesti mempertimbangkan penggantungan atau syarat amalan sebelum membatalkan pendaftaran.

Ketujuh, fasal 31 dan 32 perlu ditulis semula. Perenggan 31(1)(a) mengenai perakuan yang diperoleh melalui fraud tidak sesuai diletakkan selepas frasa yang mengecualikan pengamal dan pelatih.

Fasal 32(1) pula, boleh dibaca seolah-olah pengamal berdaftar dibenarkan menggaji orang yang tidak berdaftar. Kesalahan jenayah tidak boleh bergantung pada ayat yang kabur.

Akhir sekali fasal 35(3) membenarkan peraturan kemudian, mewujudkan kesalahan dengan hukuman penjara sehingga dua tahun. Kesalahan yang membawa hukuman penjara mesti dinyatakan dalam akta utama dan dibahaskan oleh Parlimen. RUU ini perlu diperbaiki sebelum diluluskan. Pengiktirafan profesion mesti disertai badan bebas, proses adil, hukuman seimbang dan bahasa undang- undang yang tepat. Sekian, terima kasih.

draft • 5:20 PM

Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor

Terima kasih Yang Berhormat Kepong. Dipersilakan Yang Berhormat Kapar.

draft • 5:20 PM

Dr. Hajah Halimah Ali - Kapar

Terima kasih kepada Dato’ Timbalan Yang di-Pertua. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan selamat sejahtera.

Tahniah kepada Yang Berhormat Menteri dan seluruh anggota kementerian atas kejayaan usaha untuk penggubalan suatu RUU Akta Profesion Kerja Sosial 2026 yang sangat penting ini bagi menyelia, mengawal selia pengamal kerja sosial, pelatih kerja sosial dan perkhidmatan kerja sosial dan untuk mengadakan peruntukan bagi perkara yang berkaitan dengannya.

Dato’ Yang di-Pertua, kita tidak perlu reinvent the wheel dengan izin, untuk setiap RUU baru seperti yang kita bahaskan ini. Saya nak berkongsikan satu contoh sistem kerja sosial di peringkat antarabangsa yang sudah digunakan secara meluas berdekad-dekad. Untuk tujuan benchmarking dan kajian pihak kementerianlah. Saya saksi sendiri sebagai pelajar perubatan di Australia, khususnya kewujudan pekerja sosial adalah satu komponen modal insan yang begitu penting di dalam institusi kesihatan, di dalam hospital, di klinik kesihatan dan sebagainya. Dan mereka yang ini, yang profesional dan diintegrasikan terus ke dalam sistem kesihatan. Maknanya apa yang berlaku — macam kami kalau ambil sejarah pesakit itu kemudian ada yang warga emas yang baru meninggal suami dan sebagainya mereka akan diuruskan oleh pekerja sosial dan Australia mempunyai antara sistem kerja sosial yang paling maju di dunia ini.

So, peranan utama pekerja sosial di Australia ini menjalankan penilaian psikososial, memberikan kaunseling dan intervensi krisis dan menyediakan pelan pengurusan kes dan pelan penjagaan. This is how smart and professional they are.

Memperjuangkan hak serta kepentingan klien, menyelaras akses kepada perumahan, perkhidmatan kesihatan, bantuan kewangan dan bantuan guaman, mengendalikan kes perlindungan kanak-kanak dan sokongan keluarga, membantu mangsa keganasan rumah tangga, memberi sokongan kepada individu yang mengalami masalah kesihatan mental, ketagihan, kehilangan tempat tinggal dan orang kurang upaya.

Menyumbang kepada pembangunan dasar awam dan program pembangunan komuniti. Di mana mereka bertugas di hospital awam dan swasta, pusat kesihatan komuniti, perkhidmatan kesihatan mental, sekolah dan institusi pengajian tinggi, agensi perlindungan kanak-kanak, mahkamah dan institusi pemulihan, pusat penjagaan warga emas, perkhidmatan orang kurang upaya termasuk National Disability Insurance Scheme, jabatan kerajaan, NGO, amalan persendirian, dan kelayakan mereka Ijazah Sarjana Muda Kerja Sosial empat tahun, Ijazah Sarjana Kerja Sosial yang diiktiraf sebagai kelayakan profesional selama dua tahun.

Dan kebanyakan majikan juga mensyaratkan kelayakan untuk menjadi ahli atau mendapat akreditasi daripada Australian Association of Social Workers. Tapi mereka ini tidak lagi dikawal selia melalui sistem pendaftaran nasional di bawah Australian Health Practitioner Regulation Agency seperti doktor, jururawat dan sebagainya.

Jadi, perbandingannya kita dengan Malaysia ya, kita mahu RUU ini untuk memastikan yang kita lahir adalah cukup bilang, pekerja-pekerja sosial yang kompeten, yang cukup dan mampu mengendalikan kes yang sangat sensitif, bukan biasa-biasa. Dan kesilapan dalam penilaian mereka boleh memberi kesankan sepanjang hayat. Jadi oleh itu, profesion ini memang memerlukan standard kompetensi yang tinggi serta latihan berterusan.

Kedua, kod etika dan akauntabiliti. RUU ini turut memperkenalkan kod etika serta mekanisme tatatertib. Saya menyambut baik perkara ini kerana pekerja sosial sering diberikan akses kepada maklumat peribadi yang sangat sulit, kerahsiaan, integriti dan kebebasan profesional mesti dipelihara. Namun saya ingin bertanya kepada Menteri, adakah mekanisme aduan kepada lembaga nanti, benar-benar mudah diakses oleh rakyat? Berapakah tempoh sasaran penyiasatan sesuatu aduan? Jika proses disiplin mengambil masa terlalu lama, keyakinan masyarakat terhadap profesion ini akan terjejas.

Ketiga, pelaksanaan dan kapasiti kerajaan. Ini adalah aspek paling penting, undang-undang saja tidak mencukupi jika masih tidak cukup kekurangan — masih lagi kekurangan pekerja sosial. Hari ini beban kes di lapangan sangat tinggi, nobody questions that. Ramai pekerja sosial mengendalikan terlalu banyak fail pada satu masa sehingga menyukarkan intervensi yang berkualiti.

Persoalannya, adakah kerajaan mempunyai pelan penambahan tenaga kerja? Berapa ramai pekerja sosial profesional yang diperlukan dalam tempoh lima tahun akan datang? Bagaimana dengan penempatan di kawasan luar bandar seperti Sabah dan Sarawak? Kalau hanya mewajibkan pendaftaran tetapi tidak menambah kapasiti, kita hanya menambah birokrasi tanpa meningkatkan perkhidmatan kepada rakyat.

Saya juga berharap profesion pekerja sosial diberikan pengiktirafan sebagai profesion profesional lain. Mereka bekerja dalam situasi yang penuh tekanan, berhadapan dengan penderaan kanak-kanak, keganasan rumah tangga, kemiskinan tegar, penagihan dadah dan pelbagai krisis sosial. Kesihatan mental serta kebajikan pekerja sosial sendiri juga perlu diberi perhatian oleh kerajaan supaya mereka tidak mengalami burnout dan mereka pula bukan menjadi mangsa yang selama ini mereka bantu.

Jadi akhirnya Speaker, kerajaan perlu mempertingkatkan pekerja sosial ini daripada segi S – spiritual, dia punya kekuatan dalaman. Ini kalau kita sebut integriti tapi dalam tak kuat susah nak integriti especially orang beli dia punya data dan sebagainya.

Kedua, fizikal mesti jaga kesihatan. Kesihatan dia. The intellect, kena tambah ilmu, kena tambah latihan berterusan, bagaimana nak menguruskan emosi, bagaimana nak inikan masa, bagaimana nak berurusan dengan jabatan dan agensi kerajaan dan juga keluarga yang berkecamuk. Bagaimana nak menguruskan emosi supaya boleh berfungsi dengan baik, bagaimana the social skill nak minta tolong jabatan dan agensi lain seperti zakat seperti yang lain-lain termasuklah NGO dan sebagainya.

draft • 5:22 PM

Dr. Hajah Halimah Ali - Kapar

Akhirnya, kejayaan akta ini diukur apabila kanak-kanak yang didera menerima perlindungan yang lebih cepat, keluarga yang bermasalah mendapat intervensi yang lebih berkesan, warga emas dan OKU mendapat sokongan yang lebih baik, rakyat mempunyai keyakinan bahawa setiap pekerja sosial yang berkhidmat memenuhi standard profesional, beretika dan berakauntabiliti.

[Timbalan Yang di-Pertua (Puan Alice Lau Kiong Yieng) **mempengerusikan Mesyuarat****] Jadi, dengan penambahbaikan tersebut, saya berharap akta ini benar-benar memperkukuh sistem perlindungan sosial negara, bukan sekadar mewujudkan satu kerangka perundangan baharu. Terima kasih, Speaker.

draft • 5:30 PM

Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng

Terima kasih Yang Berhormat Kapar. Saya jemput Yang Berhormat Tumpat.

draft • 5:30 PM

Dato’ Hajah Mumtaz binti Md Nawi - Tumpat

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih Yang di-Pertua kerana membenarkan saya untuk membahaskan Rang Undang-undang Profesion Kerja Sosial.

Saya juga mengucapkan tahniah kepada Yang Berhormat Menteri dan semua team yang telah pun menjayakan RUU pada kali ini. Walau bagaimanapun, saya percaya ini memerlukan masa yang sangat panjang untuk kita jayakan.

Soalan saya ialah ― apakah insentif kerajaan bagi memastikan ini berjaya?

Saya cadangkan untuk kerajaan agar mewujudkan geran khas kepada NGO untuk menggaji pekerja sosial profesional, geran latihan dan pensijilan, dana padanan (matching grant) dengan sektor swasta, potongan cukai kepada syarikat yang mempunyai program kerja sosial, biasiswa dan pinjaman boleh ubah kepada pelajar kerja sosial, insentif penempatan di kawasan pedalaman, pembiayaan bagi latihan CPD untuk pembangunan kerja sosial setahun yang akan dialami oleh semua pekerja sosial ataupun pengamal kerja sosial dan geran pendigitalan sistem pengurusan kes bagi NGO.

Kenapa ini saya cadangkan? Kerana kita perlu melihat apakah sebenarnya bidang kerja yang perlu dibuat oleh seorang pengamal kerja sosial. Pertama, beliau mesti membuat penilaian menyeluruh, comprehensive assessment. Yang kedua, mesti membuat case management. Yang ketiga, pendekatan berdasarkan kepada person-centered practices. Yang keempat, mesti membuat kerja dan amalan berasaskan kepada evidence-based practices. Yang kelima, pendekatan berasaskan kekuatan (strange-based approach) yang mana mereka mesti membantu klien membina daya tahan. Yang keenam, beliau mestilah mempunyai kemahiran untuk pengurusan risiko dan perlindungan.

Seseorang pengamal kerja sosial mesti memahami kerja dan pengurusan untuk kerjasama pelbagai disiplin kerana dia terpaksa bekerja dengan polis, doktor, jururawat, psikologi, kaunselor, guru, pegawai agama, peguam dan juga pegawai penjara mungkin. Jadi, bagaimana dia harus berkongsi maklumat mengikut prinsip kerahsiaan perlu dipelajari dengan cara yang terbaik, khususnya dari segi etika profesional untuk menjaga kerahsiaan dan supervision secara profesional juga sehingga dia boleh mencapai satu tahap dan laporan yang sangat profesional.

Soalan saya yang seterusnya ialah bila mana disebut tentang pengamal kerja sosial, kita dapati bahawa standard umum yang dikatakan untuk kerja sosial, seorang pengamal kerja sosial hanya boleh mengendalikan kes ringan 20 hingga 30 kes semasa. Tetapi, sekiranya kes ini berisiko tinggi, memerlukan antara 10 hingga 15 kes sahaja yang boleh dikendalikan dan perlu dibantu oleh seorang sukarelawan atau pun pembantu pengamal sosial.

Soalan kita, bagaimana kita nak pastikan ini berjalan secara baik? Kerana kita tahu bahawa kerja ini berada di pelbagai tempat dan kerajaan mesti menyediakan perkara ini dalam tahap yang segera. Sebab, sekarang ini, kalau kita luluskan tahun ini, kita perlu ada target. Untuk tempoh lima tahun, di semua JKM, di semua jajahan, berapa orang pekerja ataupun pengamal kerja sosial ini perlu kita wujudkan.

Kita juga melihat di peringkat antarabangsa. Kesemua profesion ataupun persatuan yang mengendalikan ini di-control oleh pihak mereka sendiri sebagaimana majlis-majlis lain. Jadi, adakah kerajaan pada hari ini boleh mempertimbangkan agar penubuhan majlis yang segala-galanya di-control oleh Menteri ini dibuat daripada peringkat pro tem sahaja. Selepas ini bila dah lebih daripada 100 ahli, sebagai contohnya, mereka berhak untuk mengundi bagi memilih wakil yang tertepat untuk menjadi wakil mereka. Kerana kita faham sekiranya ini berjalan, ia akan mempunyai pelbagai jenis masalah.

Seterusnya berkaitan dengan seksyen 19 berkaitan dengan bila mana dia seorang warganegara Malaysia dan telah memperoleh pengalaman dalam perkhidmatan kerja sosial. Saya ingin tahu, apakah tempoh minimum yang perlu dimiliki oleh seorang pengamal kerja sosial yang bukan graduan? Jadi, apakah kelayakan dan piawaian? Bilakah kita akan menggubal atau mempunyai garis panduan ini? Sebab, kita percaya dalam keadaan sekarang, kita memerlukan lebih ramai yang menjadi practitioner ini di kalangan yang bukan graduan kerja sosial. Jadi ini memerlukan maklumat segera kepada kita bagi kita memastikan kita mempunyai pekerja sosial yang mampan dan ramai dalam masa terdekat.

Saya juga ingin mencadangkan kepada kerajaan agar semua pusat jagaan warga emas, pusat penjagaan pesakit kronik dan pusat penjagaan OKU yang berdaftar diwajibkan mempunyai sekurang-kurangnya seorang pekerja sosial profesional berdaftar sebagai case coordinator, di samping penjaga sebagai caregiver yang akan mengendalikan jagaan harian. Ini akan meningkatkan lagi kualiti penjagaan.

Walau bagaimanapun, kita faham ini adalah perkara baru yang memerlukan cooling off period. Jadi, adakah kerajaan akan memberikan tempoh masa supaya dalam tempoh lima tahun, semua NGO-NGO yang saya cadangkan tadi boleh mempunyai seorang pekerja ataupun pengamal kerja sosial yang berdaftar yang memberikan akreditasi kepada khidmat mereka.

Tadi dimaklumkan oleh Yang Berhormat Menteri tentang universiti-universiti swasta dan awam yang memperkenalkan fakulti kerja sosial ini. Soalan saya adalah sekiranya ini mahu direndahkan ke peringkat yang lebih bawah iaitu di peringkat TVET dan juga SKM, adakah pihak kerajaan akan menawarkan kerja latihan sosial ini ataupun kerja sosial ini sehingga ke peringkat SKM? Supaya kita boleh melahirkan lebih ramai lagi pekerja yang mampu ataupun pengamal kerja sosial yang boleh membantu kerajaan dan juga masyarakat.

Yang terakhir, saya juga ingin mencadangkan kepada kerajaan supaya mewartakan beban kerja dan waktu bekerja bagi pengamal kerja sosial seperti had maksimum case load, waktu bekerja, tugasan on call, cuti gantian ataupun bayaran lebih masa, semakan beban kerja berkala dan juga tangga gaji profesional bagi mereka untuk dijadikan garis panduan secara minimum oleh mana-mana NGO atau agensi yang ingin memakai khidmat mereka.

Dan seterusnya ialah, kalau boleh, kita ingin mencadangkan kepada kerajaan supaya dalam pemilihan, dalam galakan, dapat keseimbangan di antara lelaki dan perempuan sebagai pengamal kerja sosial. Kalau kita tak control, mungkin hanya ramai wanita sahaja yang akan terlibat dan ini akan memberikan masalah kerana mangsa kita bukan hanya wanita dan kanak-kanak tetapi meliputi semua pihak. Dan ini merupakan empati daripada kedua-dua gender untuk memastikan ia dapat membantu masyarakat dengan cara yang baik. Sekian, terima kasih.

draft • 5:31 PM

Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng

Terima kasih Yang Berhormat Tumpat. Saya jemput Yang Berhormat Beaufort.

draft • 5:31 PM

Datuk Hajah Siti Aminah binti Aching - Beaufort

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Terima kasih Puan Yang di-Pertua atas ruang dan peluang yang diberikan kepada Beaufort untuk turut serta membahaskan Rang Undang-undang Profesion Kerja Sosial 2026.

Puan Yang di-Pertua, pekerja sosial bukan sekadar melaksanakan tugas kebajikan malah merupakan barisan hadapan yang menangani pelbagai isu sosial seperti penderaan kanak-kanak, keganasan rumah tangga, kemiskinan, penagihan dadah, masalah kesihatan mental, warga emas terabai, orang kurang upaya dan mangsa bencana. Profesion ini menuntut ilmu, kemahiran, etika dan kompetensi yang tinggi kerana setiap tindakan memberi kesan langsung kepada individu, keluarga dan juga masyarakat.

Namun, Malaysia masih belum mempunyai undang-undang khusus yang mengawal selia profesion ini. Akibatnya, tiada standard kompetensi yang seragam, sistem pendaftaran profesional yang menyeluruh serta mekanisme pemantauan etika yang jelas. Justeru, penubuhan Majlis Profesion Kerja Sosial Malaysia, daftar pengamal kerja sosial dan juga sistem perakuan amalan merupakan langkah tepat bagi memastikan hanya individu yang berkelayakan dan kompeten dibenarkan mengamalkan profesion ini.

Puan Yang di-Pertua, keperluan kepada profesion ini semakin mendesak.

Jumlah kes yang dikendalikan Jabatan Kebajikan Masyarakat meningkat daripada 663,628 kes pada tahun 2020 kepada lebih satu juta kes pada tahun 2025. Manakala nisbah pekerja sosial kepada penduduk hanyalah sekitar satu nisbah 9,885. Jauh lebih rendah berbanding beberapa negara maju. Ini menunjukkan beban tugas semakin meningkat sedangkan tenaga profesional masih belum mencukupi.

Di kawasan luar bandar seperti Beaufort, cabaran ini lebih ketara. Kawasan yang luas, bencana banjir, kemiskinan, keciciran pendidikan serta isu-isu warganegara dan kanak-kanak memerlukan pekerja sosial bukan sahaja mengurus bantuan kebajikan malah memberikan sokongan psikologi, psikososial dan membantu memulihkan kehidupan masyarakat selepas sesuatu krisis.

Puan Yang di-Pertua, saya menyokong peruntukan yang memberi kuasa kepada majlis untuk membangunkan piawaian kompetensi, mengawal etika profesion, mengurus pendaftaran serta mengambil tindakan tatatertib terhadap pengamal yang melanggar etika.

draft • 5:37 PM

Datuk Hajah Siti Aminah binti Aching - Beaufort

Namun saya berpandangan, terdapat beberapa aspek yang wajar diberikan perhatian dan dipertimbangkan oleh pihak kementerian.

Yang pertama, saya berharap kerajaan memberi perhatian khusus kepada pelaksanaan akta ini di Sabah dan juga Sarawak. Walaupun rang undang-undang ini memperuntukkan wakil daripada Sabah dan Sarawak dalam majlis, saya berpandangan penyertaan tersebut masih belum mencerminkan cabaran sebenar yang dihadapi di kedua-dua negeri.

Geografi Sabah yang luas, kawasan pedalaman yang sukar diakses serta kekangan pengangkutan memerlukan pendekatan yang berbeza daripada Semenanjung. Sehubungan itu, saya mencadangkan supaya kementerian mempertimbangkan penubuhan jawatankuasa Wilayah atau jawatankuasa teknikal khusus bagi Sabah dan Sarawak supaya dasar, latihan dan juga garis panduan yang dibangunkan benar-benar mengambil kira realiti setempat.

Kedua, kerajaan perlu memperkukuhkan pembangunan modal insan dalam bidang kerja sosial. Jika negara mahu meningkatkan nisbah pekerja sosial profesional, maka lebih banyak biasiswa, tajaan pengajian, latihan kepakaran dan peluang pendidikan perlu disediakan, khususnya kepada anak-anak Sabah dan juga Sarawak.

Ketiga, laluan kerjaya pengamal kerja sosial perlu diperkasakan. Profesion ini perlu menawarkan skim perkhidmatan yang lebih kompetitif, peluang kenaikan pangkat yang jelas, latihan profesional berterusan serta pengiktirafan kepakaran supaya lebih ramai graduan berkualiti berminat menyertai bidang ini.

Keempat, saya berharap kementerian terus memberi perhatian kepada NGO yang banyak membantu masyarakat di peringkat akar umbi. NGO yang selama ini berkhidmat kepada mangsa bencana, warga emas, orang kurang upaya dan keluarga miskin perlu diberikan tempoh peralihan, latihan serta mekanisme pensijilan yang sesuai supaya pelaksanaan akta ini tidak membebankan organisasi kecil yang telah berbakti kepada masyarakat.

Puan Yang di-Pertua, saya juga ingin mengemukakan beberapa persoalan kepada Yang Berhormat Menteri. Yang pertama, berapakah jumlah sebenar pengamal kerja sosial profesional berdaftar di Malaysia ketika ini dan apakah sasaran kerajaan dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang?

Kedua, fasal 16 memperuntukkan bahawa kerajaan hendaklah menyediakan dana yang mencukupi kepada majlis. Berapakah anggaran peruntukan tahunan yang akan disediakan bagi memastikan majlis mampu melaksanakan fungsi pendaftaran, latihan, penguatkuasaan dan pembangunan profesional secara berkesan?

Puan Yang di-Pertua, akhir sekali, saya berharap akta ini tidak hanya menjadi instrumen kawal selia semata-mata tetapi menjadi pemangkin kepada transformasi profesional kerja sosial di negara ini. Apabila kerja sosial diberi pengiktirafan sewajarnya, dilengkapi latihan berkualiti, mempunyai laluan kerja yang jelas dan disokong oleh sistem yang cekap, maka rakyat akan menerima perkhidmatan yang lebih profesional, lebih beretika dan lebih berkesan.

Dengan itu, Beaufort menyokong Rang Undang-undang Profesion Kerja Sosial 2026. Sekian, terima kasih.

draft • 5:40 PM

Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng

Terima kasih Yang Berhormat Beaufort. Saya jemput Yang Berhormat Tanjong Karang.

draft • 5:40 PM

Kapten Dato’ Dr. Zulkafperi bin Hanapi (B) - Tanjong Karang

Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Tanjong Karang bangkit hari ini dengan penuh rasa tanggungjawab untuk menyokong sebulat suara Rang Undang-undang Profesion Kerja Sosial 2026 yang dibentangkan oleh Yang Berhormat Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

RUU ini bukan sekadar sebuah dokumen undang-undang yang bersifat pentadbiran tetapi ia adalah satu pengiktirafan maruah, satu restorasi keadilan kepada wira-wira yang tidak didendang di barisan hadapan sosial kita iaitu para pekerja sosial.

Selama berdekad-dekad lamanya, apabila berlakunya kes penderaan kanak- kanak, keganasan rumah tangga, pengabaian warga emas, mahupun krisis gelandangan, masyarakat berpaling kepada pekerja sosial. Namun ironinya, golongan yang melindungi masyarakat ini selama ini, langsung tidak dilindungi oleh sebuah ekosistem perundangan yang khusus. Justeru, pengenalan RUU ini adalah satu langkah intervensi yang sudah lama dinantikan.

Tuan Yang di-Pertua, mengapa akta ini begitu kritikal tahun 2026? Rentak sosial Malaysia hari ini semakin rencam dan kompleks. Kita sedang bergerak pantas menuju status negara tua (aging nation), dengan izin.

Isu-isu kesihatan mental, bebanan ekonomi golongan pertengahan atau sandwiched generation. Kes penderaan dan eksploitasi kanak-kanak di institusi penjagaan seperti yang sering mengemparkan kita kebelakangan ini, memerlukan kepakaran yang tinggi, bukan sekadar ihsan atau kerja sukarela. Kerja sosial bukan lagi sekadar aktiviti kebajikan tangkap muat atau charity.

Kerja sosial adalah sebuah sains kemanusiaan. Ia memerlukan kemahiran psikologi, penilaian risiko, dan intervensi krisis. Tanpa regulasi yang ketat, kita mendedahkan golongan yang paling rentan iaitu kanak-kanak, ibu bapa yang tua, kepada risiko salah laku trauma sekunder dan salah urus kes oleh individu yang tidak bertauliah.

Melalui seksyen 19 RUU ini, penubuhan Majlis Profesion Kerja Sosial Malaysia akan menjadi penanda aras baharu. Majlis ini akan mengawal selia, mendaftar dan mengeluarkan perakuan amalan kepada pengamal kerja sosial. Ini bermakna, kualiti penyampaian perkhidmatan sosial selepas ini akan terjamin setaraf dengan profesion profesional lain seperti doktor, peguam dan arkitek Tuan Yang di-Pertua, Tanjong Karang menyambut baik pemakaian RUU ini yang mengawal selia pengamal kerja sosial di sektor swasta, NGO dan korporat.

Langkah ini penting bagi memastikan keseragaman standard di ratusan pusat jagaan seluruh negara. Malah, peruntukan denda sehingga RM50,000 atau tiga tahun penjara terhadap majikan yang menggaji pekerja tidak berdaftar membuktikan ketegasan kerajaan dalam menjaga keselamatan sosial rakyat.

Namun, memandangkan pejabat awam dikecualikan buat masa ini, saya menyarankan agar kementerian meneruskan sesi libat urus secara berkala. Kita mahukan penyelarasan penuh pada masa hadapan supaya standard kompetensi pekerja sosial di bawah JKM dan agensi kerajaan berjalan seiring dengan piawaian sektor swasta.

Tuan Yang di-Pertua, pelaburan terbaik sebuah negara bukan sahaja pada batu-bata bangunan pencakar langit atau infrastruktur digital tetapi pada infrastruktur sosialnya. Melalui RUU Profesion Kerja Sosial 2026 ini, kita sedang membina sebuah jaringan keselamatan sosial yang kukuh, profesional dan berintegriti.

Kita tidak boleh mengharapkan sebuah masyarakat yang MADANI sekiranya sistem sokongan kebajikan kita masih di takuk lama. Dengan meluluskan RUU ini, kita menghantar mesej yang jelas kepada dunia, Malaysia menghargai profesionalisme kemanusiaan dan Malaysia komited melindungi golongan yang lemah.

Saya menyeru kepada semua rakan-rakan Ahli Parlimen, tidak kira pembangkang mahupun kerajaan, mari kita ketepikan perbezaan politik, mari kita bersatu hati demi kebajikan rakyat, demi masa depan anak-anak kita dan demi mengangkat martabat pekerja sosial negara.

Dengan ini Tuan Yang di-Pertua, Tanjong Karang mohon menyokong.

Sekian, terima kasih. Saya sudahi dengan wabillahi taufiq wal hidayah, assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih.

draft • 5:43 PM

Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng

Terima kasih Yang Berhormat Tanjong Karang. Saya jemput Yang Berhormat Kota Belud.

draft • 5:43 PM

Puan Isnaraissah Munirah binti Majilis @ Fakharudy - Kota Belud

Bismillahirrahmanirrahim. Tuan Yang di-Pertua, selaku Pengerusi APPGM-SDG, saya melihat RUU ini menerusi lensa pembangunan mampan, khususnya SDG 1:

tanpa kemiskinan, SDG 3: kesihatan dan kesejahteraan dan SDG 10: azam mengurangkan ketidaksamaan. Perlindungan sosial yang kukuh adalah tiang seri kepada sebuah negara yang inklusif.

Sebelum saya mulakan, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Yang Berhormat Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Sri Hajah Nancy binti Shukri serta seluruh saf kepimpinan kementerian dengan membawa RUU yang sekian lama dinantikan oleh ekosistem kebajikan negara ini ke Parlimen. Ini merupakan detik bersejarah bagi menukarkan kerja sosial daripada khidmat sukarela kepada profesion berakreditasi undang-undang.

Tuan Yang di-pertua, perbahasan kita hari ini mesti berpaksikan realiti empirikal lapangan. Berdasarkan rekod rasmi kementerian yang selari dengan pemantauan APPGM-SDG di akar umbi, krisis sosial sistemik negara sudah berada di tahap membimbangkan.

Tahun 2020, sebanyak 663,628 kes direkodkan oleh JKM. Tahun 2025, angka ini melonjak drastik sebanyak 52.7 peratus kepada 1,013,466 kes. Malah, Kajian Indeks Kesejahteraan Keluarga Malaysia 2022 oleh LPPKN menunjukkan 40.2 peratus keluarga di Malaysia mengakui masalah sosial adalah cabaran utama mereka.

draft • 5:48 PM

Puan Isnaraissah Munirah binti Majilis @ Fakharudy - Kota Belud

Namun, bagaimana kapasiti perlindungan negara kita? Sehingga suku pertama tahun 2026 dengan populasi mencecah 34.4 juta orang, kita hanya mempunyai sekitar 3,480 perjawatan skim pembangunan masyarakat JKM. Ini bermakna nisbah pekerja sosial kepada populasi di Malaysia ketika ini adalah sekitar nisbah satu kepada 9,885.

Bandingkan dengan rakan antarabangsa global United Kingdom, satu kepada 490; Australia, satu kepada 1,040; Singapura, satu kepada 3,448.

Bagaimanakah seorang pekerja sosial mampu memberikan kualiti intervensi terbaik jika terpaksa menguruskan hampir 10,000 orang penduduk?

Di kawasan bandar mungkin ada lambakan NGO swasta untuk menampung kekurangan pekerja sosial. Tetapi di luar bandar, di kawasan pedalaman Sabah, Sarawak, JKM adalah satu-satunya pintu dan harapan untuk rakyat berpaut.

Seorang pegawai kebajikan di luar bandar terpaksa menjaga mukim yang luas, mengharungi geografi yang berbukit-bukau dan dalam masa yang sama memikul ribuan kes bersendirian.

Isu burnout dalam kakitangan Pegawai JKM luar bandar ini amat kronik. Saya ambil contoh JKM daerah Kota Belud. Daripada sembilan orang kakitangan, dua orang adalah pemandu dan seorang adalah pekerja kontrak MySTEP. Ini bermakna tenaga kerja hakiki yang mengendalikan kes-kes kebajikan perlindungan kanak- kanak, warga emas dan mangsa bencana di seluruh Kota Belud hanyalah tinggal enam orang sahaja. Bagaimana enam orang ini mampu melayani puluhan ribu rakyat di Kota Belud?

Pihak pengurusan jabatan telah berkali-kali memohon tambahan perjawatan tetapi jawapannya mengecewakan. Permohonan mereka terus-menerus sangkut di peringkat pusat. Akibat kekurangan ini, JKM amat bergantung kepada sukarelawan JKM yang bertungkus-lumus siang dan malam di pusat pemindahan mangsa ketika banjir, tanah runtuh ataupun kebakaran. Mereka berkorban tenaga tanpa mengira waktu.

Justeru, di bawah kerangka undang-undang baru ini, saya mendesak agar kerajaan menerusi Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Kewangan menyemak semula serta menambah bilangan perjawatan tetap pegawai di bawah skim sosial JKM, khususnya di Sabah yang sememangnya sangat kurang kakitangan.

Saya juga ingin mencadangkan sekiranya kekangan bajet menyekat pengambilan kakitangan tetap, saya menggesa agar para sukarelawan JKM ini diberikan elaun khas bertugas mengikut jam atau hari berorientasikan konsep elaun yang diguna pakai oleh RELA dan Angkatan Pertahanan Awam (APM). Ini bukan sahaja pengiktirafan kepada maruah kerja mereka, malah sebagai suntikan semangat untuk mereka terus menjadi benteng hadapan negara setiap kali bencana melanda.

Tuan Yang di-Pertua, akta ini melangkaui aspek moral murni. Ini adalah pelaburan strategik untuk memperkukuh ekonomi penjagaan ataupun care economy dan mematangkan sistem sokongan negara. Pengiktirafan kepada graduan kerja sosial berilmu, berkemahiran dan berkompetensi profesional menerusi standard serta kelayakan yang jelas di bawah akta ini bukan sahaja melindungi maruah barisan hadapan kita, malah membina ekosistem perkhidmatan sosial profesional yang mampan demi golongan rentan seperti ibu tunggal, OKU, warga emas dan juga komuniti terpinggir.

Tuan Yang di-Pertua, sebagai kumpulan rentas parti yang memantau pelaksanaan matlamat pembangunan mampan APPGM-SDG melihat ada beberapa perkara yang perlu diperjelaskan kementerian. Pertama adalah berkenaan garis pemisah profesional versus sukarelawan fasal 31 dan 32. Akta ini memperuntukkan penalti yang amat berat di bawah fasal 31 denda sehingga RM20,000 ataupun penjara sehingga dua tahun bagi amalan tanpa pendaftaran dan fasal 32 denda sehingga RM50,000 bagi majikan.

Saya mohon penjelasan Menteri, apakah garis pemisah konkrit bagi sukarelawan komuniti, aktivis NGO akar umbi dan kakitangan pusat khidmat Ahli Parlimen. Takrifan perkhidmatan kerja sosial dalam fasal 2 adalah terlalu inklusif dan luas. Kita tidak mahu niat murni masyarakat MADANI untuk membantu rakyat di bawah terbantut ketakutan akibat birokrasi perundangan ini.

Kedua adalah mengenai pengecualian sektor awam di bawah fasal 19(8).

Fasal 19(8) ini mengecualikan pegawai awam daripada kewajipan memegang perakuan amalan untuk tugasan rasmi kerajaan. Tuan Yang di-Pertua, dapatan lapangan dan penilaian APPGM-SDG secara jelas membuktikan keperluan mendesak untuk meningkatkan tahap profesionalisme, akauntabiliti dan juga kualiti latihan pekerja sosial JKM itu sendiri.

Jika kita mahu melaksanakan pendekatan seluruh negara whole-of-nation approach sektor kerajaan mesti memimpin melalui teladan dengan mematuhi kayu ukur kualiti yang tertinggi. Mengapa pekerja sosial swasta dan NGO diwajibkan berdaftar tetapi pekerja sosial kerajaan di bawah JKM dikecualikan?

Standard kompetensi kawal selia etika dan akauntabiliti tatatertib mestilah sama rata tanpa dua darjat antara agensi kerajaan dan juga swasta. Mohon penjelasan daripada Yang Berhormat Menteri. Berkenaan dengan penubuhan Majlis Profesion Kerja Sosial Malaysia di bawah fasal 3, peruntukan wakil sektor swasta adalah terhad kepada tidak lebih 10 orang sahaja.

Saya mendesak agar kementerian memastikan perwakilan ini diisi secara telus oleh pengamal daripada pertubuhan bukan kerajaan, NGO teras yang berdaftar di bawah ROS. NGO adalah barisan hadapan yang memikul beban krisis sosial di lapangan. Input mereka amat mustahak agar tadbir urus majlis bersifat praktikal dan bukannya akademik semata-mata.

Tuan Yang di-Pertua, Akta Profesion Kerja Sosial 2026 ini bukan lagi satu pilihan, ia adalah satu structural necessity. Lonjakan beban kes yang kini melangkaui angka, melepasi angka satu juta adalah isyarat yang sangat jelas bahawa cara lama tidak lagi mampu menyelesaikan masalah hari ini. Tuan Yang di-Pertua, saya mohon menyokong. Sekian, terima kasih.

draft • 5:50 PM

Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng

Terima kasih Yang Berhormat Kota Belud. Saya jemput Yang Berhormat Ampang.

draft • 5:50 PM

Puan Hajah Rodziah binti Ismail - Ampang

Terima kasih.

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh. Yang Berhormat Yang di-Pertua. Saya mulakan dengan mengucapkan syabas kepada Yang Berhormat Menteri serta pasukan KPWKM yang berjaya membawa rang undang-undang ini untuk dibahaskan.

Saya masih ingat semasa saya menjadi Exco kerajaan negeri di Selangor pada tahun 2010. Kita mulakan perbincangan itu dan alhamdulillah selepas 16 tahun, ia telah berjaya diangkat oleh Yang Berhormat Menteri. Tahniah kepada semua pasukan yang telah menjayakannya.

Tetapi setelah 16 tahun ini saya nampak Rang Undang-undang Profesion Kerja Sosial 2026 ini akan memberikan pengiktirafan sewajarnya, khusus kepada mereka yang selama ini sentiasa di barisan hadapan. Dan saya mengharapkan sangat supaya ia nya nanti akan menjadi game changer kepada struktur sosial yang sepatutnya kita tunggu-tunggu selama ini yang berada di Malaysia yang saya rasa telah jauh ketinggalan berbanding negara-negara lain.

Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, sebenarnya Ampang ada tujuh perkara nak angkatkan tetapi kebanyakan kawan-kawan telah— Yang Berhormat telah pun bangkit. Tetapi ada sedikit saya gusar tentang ketidakfahaman istilah antara pekerja sosial dengan sukarelawan yang masih berlegar di luar sana.

Skop tafsiran yang difahami di luar sana kadang-kadang menyebabkan ada banyak konflik dan masalah ini harap dapat ditangani dengan segera oleh pihak kementerian ataupun kerajaan. Kerana kita lihat perbezaan kefungsian antara profesion social worker ataupun pekerja sosial dengan sukarelawan biasa ini, tafsiran itu perlu diperjelaskan dan diperincikan.

Yang saya bimbang, Ampang bimbang ramai yang takut yang sebenarnya yang telah membantu secara sukarelawan kerana khuatir melanggar undang- undang selepas rang undang-undang ini diluluskan, termasuk juga penyedia ataupun penyediaan apa ni perkhidmatan taska di luar sana. Mereka akan rasakan oh mereka akan takut melanggar mana-mana peraturan.

Jadi, dengan itu persoalannya, saya mencadangkan supaya kita— jurang ini di antara kehendak undang-undang dan realiti di lapangan memandangkan sebahagian besar perkhidmatan sosial negara ini sebenarnya digerakkan boleh dikatakan ribuan NGO di seluruh negara, sedangkan ramai kakitangan dan sukarelawan NGO bukan graduan sosial.

Jadi, bagaimana mungkin mereka tidak memiliki ijazah sosial tetapi mempunyai pengalaman selama 15, 20 tahun, kadang-kadang lebih daripada itu, mengendalikan ribuan kes sebenar di akar umbi. Persoalannya adakah semua wealth of experience dengan izin, rekod perkhidmatan dan integriti ini akan diiktiraf.

Memandangkan rang undang-undang ini menetapkan syarat kelayakan dan pengalaman untuk mendapatkan perakuan amalan tanpa memperincikan mekanisme peralihan munasabah.

Jadi yang ini saya minta sangat pihak kerajaan melihat bagi mengiktirafkan pengamal yang ada pengalaman ini yang luas sebenarnya tetapi dia akan terikat bila kita telah pun menggariskan di dalam jadual 19 itu. Justeru Ampang menggesa, Ampang menggesa agar kerajaan memperkenalkan mekanisme recognition of prior learning dengan izin, RPL, penilaian berasaskan kompetensi ataupun grandfathering provisions demi memastikan tenaga kerja sedia ada, berpengalaman luas terutama mereka yang telah berkhidmat berpuluh tahun dengan NGO tidak disisihkan hanya kerana mereka tidak mempunyai kelayakan akademik formal.

draft • 5:56 PM

Puan Hajah Rodziah binti Ismail - Ampang

Jadi sekiranya tidak, Ampang jangka Malaysia akan kehilangan ribuan pekerja sosial yang sebenarnya menjadi tulang belakang sistem kebajikan negara.

Kita sepatutnya tidak kehilangan pengalaman mereka ini, jadi saya harap sangat pihak kerajaan melihat perkara ini.

Yang keduanya, semacam ada kebimbangan antara ataupun di luar sana mengatakan ada dwistandard antara pengamal awam berbanding staf swasta. Jadi, saya faham pegawai awam dengan sijil amalan sektor swasta ini mereka mungkin digelar pelindung ataupun penguat kuasa kepada isu-isu berkaitan dengan sosial, tugasan mereka begitu.

Tetapi pekerja sosial swasta pula dengan standard profesional, mereka diiktiraf individu yang boleh kompeten menjalankan tentang kerja-kerja sosial yang boleh membantu sepatutnya. Saya tidak pasti, nanti nama mereka digelar macam mana setanding kah dia dengan pelindung dan sebagainya.

Saya harapkan perbezaan ini boleh diukur sebab yang mereka kata kenapa pegawai kerajaan tidak melalui semua perkara-perkara yang ditentukan tetapi saya yakin pihak kerajaan boleh memperjelaskan dengan memberikan apakah sebenarnya perbezaan antara pengamal sijil amalan yang ada di bawah kerajaan itu dengan standard yang digunakan ataupun standard profesion yang digunakan di bawah sektor pekerja ini supaya ia tidak jauh sangat. Oleh itu, yang mana kurang ditampung dengan beberapa kursus dan latihan yang perlu dilaksanakan segera supaya tidak ada gap yang besar antara pegawai kerajaan atau pun pihak swasta dan awam.

Yang seterusnya, izinkan saya tambah sikit Tuan Yang di-Pertua.

Kebimbangan Ampang juga tentang kekangan kapasiti, tadi Menteri sebut kita ada tiga kolej, kita ada beberapa universiti dan sebagainya tetapi nisbahnya jauh ke belakang. Bandingan antara seorang yang bergelar social workers ini dengan orang kata— mereka yang rentan.

Oleh itu, sewajarnya saya yakin, sepatutnya kalaulah, alangkah bagusnya selepas ini terus kerajaan mengemukakan satu pelan tindakan induk pekerja sosial negara dibentangkan supaya kita boleh lihat dalam tempoh bila kita akan capai nisbah yang setimpal, pekerja sosial berbanding dengan mereka yang memerlukan bantuan ini.

Yang seterusnya, saya juga ingin mengharapkan iaitu bebanan kos profesionalisasi dalam kos pematuhan rang undang-undang. Saya rasa ini satu masa yang agak baik memandangkan bajet akan dibentangkan pada sesi ataupun sidang yang akan datang. Saya harap jangan nanti dengan adanya perkara ini kita akan mengekang NGO-NGO yang terpaksa menanggung pelbagai bebanan kewangan. Sebab mereka hendak ada apa ni? Ada kerja-kerja sosial yang sepatutnya menepati kriteria dan sebagainya.

Jadi persoalannya mampu kah NGO ini terutama saiz kecil yang bergantung pada derma, peruntukan CSR dan geran kerajaan untuk menanggung sendiri semua kos tambahan? Tetapi saya tidak hanya mengemukakan masalah, saya juga ingin mencadangkan supaya perkara ini dapat kita laksanakan dengan satu dana profesionalisasi kerja sosial khas yang mungkin pihak kerajaan boleh sediakan supaya akhirnya mereka yang ramai, besar pengalaman ini dapat cepat menepati sasaran yang kita inginkan.

Itu sahaja sebenarnya saya ingin bangkitkan tetapi akhirnya Ampang menyeru agar kita semua meluluskan satu reformasi yang melindungi profesion kita hendak lindung, memperkasa NGO pun kita mahu, menghormati sukarelawan apatah lagi.

Tapi kita ingin memartabatkan pekerja sosial dan yang paling penting memberikan perlindungan dan pembelaan terbaik buat rakyat Malaysia. Ini sebenarnya perkara yang kita hendak, dengan itu Ampang menyokong penuh rang undang-undang ini. Terima kasih.

draft • 6:00 PM

Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng

Terima kasih Yang Berhormat Ampang. Saya jemput Yang Berhormat Kulim-Bandar Baharu.

draft • 6:00 PM

Tuan Roslan bin Hashim - Kulim-Bandar Baharu

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum dan salam sejahtera. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua atas peluang untuk membahaskan Rang Undang-undang Profesion Kerja Sosial 2026.

Langkah membentang RUU ini amat bertepatan memandangkan beban kerja sektor kebajikan kini yang semakin meningkat. Dengan nisbah pekerja sosial kepada penduduk Malaysia kini sekitar 1:9,885 iaitu jauh ketinggalan berbanding negara- negara maju. Situasi ini jelas menunjukkan bahawa keperluan terhadap pekerja sosial profesional semakin mendesak. Saya tiada masalah untuk menyatakan sokongan penuh dan tidak berbelah bahagi terhadap RUU yang sudah lama dinantikan bagi mengangkat profesional kerja sosial sebagai satu profesion.

Namun, izinkan saya membangkitkan beberapa persoalan mengenai RUU ini untuk dijelaskan oleh Yang Berhormat Menteri. Pertama, mengenai prosiding tatatertib. RUU ini memberikan kuasa kepada majlis untuk menyiasat dan mengenakan tindakan tatatertib sehingga menggantung atau membatalkan pendaftaran seseorang pekerja sosial atas kesalahan seperti gangguan seksual, penyalahgunaan maklumat peribadi klien serta perlanggaran Kod Tatakelakuan.

Persoalan saya, bagaimanakah kementerian dapat memberi jaminan bahawa Jawatankuasa Penyiasat dan Jawatankuasa Tatatertib benar-benar bebas daripada konflik berkepentingan? Apakah hak yang diberikan kepada pekerja sosial untuk membela diri, memanggil saksi, mendapatkan [Tidak jelas] undang-undang serta meneliti segala bukti sebelum sesuatu hukuman dijatuhkan supaya prinsip natural justice sentiasa dipelihara?

Kedua, mengenai rayuan terhadap keputusan tatatertib yang menyatakan bahawa rayuan hendaklah dikemukakan kepada Menteri dalam tempoh 21 hari.

Saya ingin mendapatkan penjelasan adakah keputusan Menteri merupakan sebuah keputusan yang muktamad ataupun masih tertakluk kepada semakan kehakiman?

Selain itu, adakah kementerian ada menetapkan suatu service level agreement bagi memastikan rayuan diputuskan dalam tempoh tertentu? Kita tidak mahu seseorang pekerja sosial kehilangan mata pencarian selama berbulan-bulan hanya kerana proses rayuan yang berlarutan lamanya.

Persoalan ketiga mengenai struktur kesalahan dan penalti. Saya melihat RUU ini menetapkan hukuman maksimum RM20,000 atau penjara dua tahun bagi individu yang mengamalkan tanpa pendaftaran. Manakala majikan yang menggaji pengamal tidak berdaftar boleh dikenakan hukuman sehingga RM50,000 atau penjara tiga tahun.

Apakah rasional dasar ini di sebalik berbezaan penalti yang agak ketara ini?

Mengapa tanggungjawab undang-undang terhadap majikan lebih berat daripada individu yang melakukan kesalahan tersebut? Saya percaya penjelasan mengenai falsafah perundangan ini penting supaya semua pihak memahami objektif sebenar peruntukan tersebut.

Seterusnya, mengenai obligasi kerahsiaan maklumat dalam era digital. Saya menyokong sepenuhnya kewajipan melindungi kerahsiaan maklumat klien. Namun, hari ini sebahagian besar rekod pelanggan disimpan dalam bentuk digital dan berisiko terdedah kepada serangan siber atau penggodaman.

Persoalan saya, adakah akta ini atau peraturan-peraturan yang bakal digubal akan menyediakan pembelaan yang munasabah sekiranya kebocoran maklumat berlaku akibat serangan siber di luar kawalan pekerja sosial? Di samping itu, adakah kementerian bercadang membangunkan garis panduan khusus mengenai keselamatan data, penggunaan sistem digital dan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam pengurusan kes.

Persoalan saya seterusnya pula berkaitan kepada Menteri untuk membuat peraturan serta memberikan pengecualian di bawah akta ini. Justeru, apakah parameter dan prinsip yang akan menjadi panduan kepada pelaksanaan kuasa tersebut? Adakah semua keputusan pengecualian akan direkodkan dan diumumkan secara telus? Kita perlu memastikan kuasa yang luas ini tidak menimbulkan persepsi bahawa pengecualian diberikan secara tidak konsisten atau bersifat arbitrary. Persoalan-persoalan yang saya bangkitkan ini bukanlah bertujuan mempertikaikan peluang RUU ini. Sebaliknya saya ingin memastikan akta yang bakal diluluskan bukan sahaja mempunyai nilai yang baik malah turut disokong oleh mekanisme pelaksanaan telus, adil kepada semua pihak.

Saya percaya dengan penjelasan Yang Berhormat Menteri terhadap perkara- perkara yang saya bangkitkan akan menjadi satu mercu tanda penting dalam memperkukuhkan sistem perlindungan sosial negara, meningkatkan profesionalisme pekerja sosial serta memastikan kebajikan golongan rentan terus dipelihara. Dengan itu saya menyokong RUU undang-undang ini. Sekian, terima kasih.

draft • 6:04 PM

Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng

Terima kasih Yang Berhormat Kulim-Bandar Baharu. Saya jemput Yang Berhormat Betong.

draft • 6:04 PM

Dato Dr. Richard Rapu @ Aman anak Begri - Betong

Terima kasih Puan Yang di-Pertua. Salam sejahtera. Pertamanya Betong ingin menyatakan sokongan penuh terhadap Rang Undang-undang Profesion Kerja Sosial 2026 kerana saya percaya sudah tiba masanya profesion kerja sosial di negara ini diberikan pengiktirafan, diberikan standard kompetensi dan juga kawal selia yang sewajarnya.

draft • 6:09 PM

Dato Dr. Richard Rapu @ Aman anak Begri - Betong

Saya mengucapkan tahniah kepada Menteri serta kementerian kerana berjaya membawa RUU ini ke Dewan Rakyat pada hari ini.

Tuan Yang di-Pertua, hakikatnya cabaran sosial yang kita hadapi semakin kompleks. Kita dengar tadi, kalau kita lihat statistik jumlah kes yang dikendalikan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat dalam tempoh lima tahun, 2020 hingga 2025, daripada 663,628 kes meningkat lebih satu juta pada tahun 2025, iaitu peningkatan sebanyak 50 peratus.

Jadi, pada masa yang sama, 40.2 peratus keluarga Malaysia menganggap masalah sosial sebagai satu cabaran yang utama. Manakala, nisbah seorang pekerja sosial kepada penduduk, kini dianggarkan 1 per 9,885, hampir 10,000. Jauh ketinggalan dibanding dengan negara-negara seperti jiran kita Singapura, Australia dan United Kingdom. Jadi, angka-angka ini jelas menunjukkan keperluan kepada satu kerangka profesional yang lebih mantap.

Tuan Yang di-Pertua, namun begitu, Betong ingin mengemukakan beberapa persoalan dan juga cadangan penambahbaikan. Pertama sekali, adakah penubuhan Majlis Profesion Kerja Sosial sahaja memadai, jika negara kita masih berhadapan kekurangan pekerja sosial? Pendaftaran tanpa penambahan kapasiti tenaga kerja, mungkin hanya mengawal selia profesion tapi tidak meningkatkan akses rakyat kepada perkhidmatan.

Betong mencadangkan kerajaan menyediakan Pelan Pembangunan Tenaga Kerja Sosial Negara dengan sasaran yang jelas, termasuk pertambahan perjawatan di Jabatan Kebajikan Masyarakat, hospital, sekolah, institusi pemulihan serta pusat komuniti.

Kedua, Betong ingin menyentuh dari segi konteks Sarawak. Sarawak mempunyai keluasan lebih 124,000 kilometer persegi dengan banyak kawasan pendalaman yang hanya boleh dihubungi melalui sungai, jalan balak ataupun penerbangan luar bandar. Cabaran pekerja sosial di daerah-daerah seperti Kapit, Belaga, Baram, malah daerah-daerah kecil di bahagian Betong juga sudah tentu sangat berbeza berbanding kawasan bandar.

Jadi persoalannya, adakah standard kompetensi latihan serta nisbah penempatan pekerja sosial nanti, akan mengambil kira realiti geografi ini? Betong berharap bahawa Majlis Profesion Kerja Sosial ini tidak menggunakan pendekatan one size fits all dengan izin, sebaliknya menyediakan garis panduan khas bagi Sabah dan Sarawak termasuk pengiktirafan terhadap keperluan budaya masyarakat pelbagai etnik serta komuniti peribumi yang lain.

Ketiga, Betong melihat RUU ini menyatakan kelayakan ialah ijazah kerja sosial ataupun bidang berkaitan. Persoalannya, apakah yang dimaksudkan dengan bidang berkaitan? Adakah psikologi, kaunseling ataupun penggunaan komuniti, kesihatan awam, pendidikan khas dan juga sosiologi turut diiktiraf? Jadi, Betong mencadangkan supaya perkara ini diperincikan melalui peraturan, agar tidak timbul tafsiran berbeza yang akhirnya menyukarkan proses pentafsiran.

Keempat, bagaimana pula nasib ramai pengamal kerja sosial yang telah berkhidmat selama belasan ataupun puluhan tahun dengan NGO, hospital ataupun pusat perlindungan wanita, kanak-kanak serta institusi komuniti tetapi tidak memiliki ijazah kerja sosial? Pengalaman mereka Tuan Yang di-Pertua, merupakan aset kepada negara.

Jadi oleh itu, Betong mencadangkan kerajaan menyediakan laluan peralihan ataupun yang disebut oleh rakan-rakan lain, grandfathering dengan izin, melalui penilaian kompetensi supaya pengalaman panjang mereka, terus kita hargai tanpa menjejaskan standard profesional.

Jadi yang terakhir kelima, Betong ingin menyentuh aspek pendigitalan. Hari ini hampir semua rekod kes disimpan secara digital. Kerja sosial mengendalikan maklumat yang amat sensitif melibatkan kanak-kanak, mangsa keganasan rumah tangga, warga emas, OKU serta individu yang mengalami masalah kesihatan mental.

Jadi, adakah Majlis ini nanti akan mengeluarkan garis panduan khusus mengenai keselamatan data, penggunaan kecerdasan AI ataupun etika media sosial dan perlindungan maklumat digital supaya kerahsiaan klien benar-benar terjamin?

Akhir sekali, saya berharap RUU ini tidak berhenti setakat menjadi instrumen kawal selia semata-mata. Kerajaan perlu melihatnya sebagai pemangkin kepada transformasi profesion kerja sosial melalui latihan berterusan, pembangunan kerjaya, kerjasama strategik dengan universiti dan NGO serta peningkatan kapasiti tenaga kerja di seluruh negara.

Maka dengan penambahbaikan tersebut, Betong yakin RUU ini bukan sahaja memartabatkan profesion kerja sosial, malah akan memperkukuhkan jaringan perlindungan sosial negara dan kesejahteraan rakyat, termasuk masyarakat di luar bandar, pedalaman seperti kita di Sarawak.

Dengan itu, saya mohon menyokong RUU ini. Sekian, terima kasih Tuan Yang di-Pertua.

draft • 6:10 PM

Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng

Terima kasih Yang Berhormat Betong. Saya jemput Yang Berhormat Kalabakan.

draft • 6:10 PM

Datuk Andi Muhammad Suryady bin Bandy - Kalabakan

Terima kasih Puan Yang di-Pertua atas peluang yang diberikan kepada saya untuk sama-sama berbahas dalam Rang Undang-undang Profesion Kerja Sosial 2026.

Jadi pada hemat saya, apa yang utama RUU ini bertujuan untuk mewujudkan Majlis Profesion Kerja Sosial Malaysia melalui fasal 3. Manakala, fasal 4 memperincikan fungsi Majlis termasuk membangunkan piawaian kompetensi, mengawal selia etika profesional serta memastikan pembangunan profesional berterusan bagi pengamal kerja sosial. Langkah ini akan mengangkat profesion kerja sosial sebagai satu profesion yang diiktiraf dan dikawal selia secara profesional.

Puan Yang di-Pertua, keperluan RUU ini amat jelas, apabila negara menyaksikan peningkatan mendadak kes penderaan dan keganasan seksual terhadap kanak-kanak. Berdasarkan statistik yang dilaporkan kepada One Stop Crisis Center (OSCC), menunjukkan berlaku peningkatan sebanyak 12,906 kes pada 2025 berbanding 9,652 kes pada 2020, menunjukkan isu keganasan dan penderaan semakin membimbangkan. Justeru itu, dalam keadaan trauma yang begitu kompleks ini, mangsa memerlukan intervensi daripada pengamal kerja sosial yang benar- benar terlatih, bukannya individu yang tidak mempunyai kompetensi profesional.

Melalui fasal 19, fasal 20 dan fasal 21, hanya individu yang memenuhi syarat kelayakan akademik, pengalaman dan kompetensi boleh diberikan perakuan amalan, perakuan amalan sementara atau perakuan interim. Ini akan memastikan hanya pengamal yang berkelayakan mengendalikan kes-kes kritikal dan mengurangkan risiko trauma berulang ya kepada mangsa.

RUU ini juga amat penting bagi mengelakkan tragedi seperti kes penderaan Bella pada Julai 2021 serta pelbagai isu eksploitasi di rumah kebajikan dan pusat jagaan yang pernah menggemparkan negara. Sebelum ini, tiada mekanisme khusus untuk menggantung atau membatalkan hak seseorang daripada terus mengamalkan kerja sosial.

Kini melalui bahagian 4, khususnya fasal 23 hingga fasal 28, diwujudkan sistem tatatertib yang membolehkan tindakan diambil terhadap pengamal yang melakukan salah laku profesional. Malah, fasal 27 membolehkan nama seseorang dikeluarkan daripada daftar. Manakala, fasal 32 mengenakan hukuman sehingga RM50,000 terhadap majikan yang menggaji individu yang tidak berdaftar.

Selain itu, profesion ini turut berdepan kekurangan tenaga kerja yang serius.

Nisbah pekerja sosial di Malaysia dianggarkan sekitar satu nisbah 8,500 penduduk yang dikeluarkan oleh Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU). Pada tahun 2019, menunjukkan Malaysia jauh ketinggalan ya, berbanding negara-negara maju. Maka, dengan pengiktirafan profesion melalui RUU ini, saya berharap lebih ramai graduan akan melihat bidang kerja sosial sebagai satu kerjaya profesional yang mempunyai laluan pembangunan kerjaya yang jelas.

Puan Yang di-Pertua, walaupun saya menyokong RUU ini, terdapat beberapa perkara yang wajar ya diberikan perhatian. Pertama, fasal 10(1) memberi kuasa kepada Menteri untuk membatalkan pelantikan anggota Majlis tanpa perlu memberikan sebarang alasan. Kuasa yang terlalu luas ini boleh menimbulkan persepsi, campur tangan terhadap kebebasan badan profesional. Saya mencadangkan supaya setiap pembatalan pelantikan disertakan alasan bertulis serta memberi hak kepada individu berkenaan untuk membuat representasi.

Kedua, fasal 12 memperuntukkan bahawa majlis tertakluk kepada arahan Menteri. Pada hemat saya, arahan Menteri hendaklah terhad kepada dasar kerajaan sahaja dan tidak melibatkan keputusan profesional. Pendaftaran atau prosiding tatatertib supaya kebebasan majlis terus terpelihara.

draft • 6:15 PM

Datuk Andi Muhammad Suryady bin Bandy - Kalabakan

Ketiga, fasal 3(2) memperuntukkan keanggotaan Majlis daripada sektor awam, sektor swasta serta wakil negeri termasuk Sabah dan Sarawak. Namun begitu, tiada peruntukan khusus yang mewajibkan penyertaan wakil institusi pengajian tinggi yang menawarkan program kerja sosial atau pun wakil NGO kebajikan yang mempunyai pengalaman luas di lapangan. Penglibatan mereka sudah pasti akan memperkayakan perspektif Majlis.

Keempat, fasal 19 tidak menetapkan tempoh masa yang jelas bagi Majlis membuat keputusan terhadap permohonan perakuan amalan. Saya mencadangkan supaya satu tempoh maksimum, contohnya 60 hari bekerja, ditetapkan bagi mengelakkan kelewatan birokrasi.

Kelima, fasal 28 memperuntukkan rayuan dibuat kepada Menteri. Bagi menjamin ketelusan, saya mencadangkan supaya satu tribunal rayuan profesional yang bebas diwujudkan bagi mendengar rayuan berkaitan keputusan Majlis.

Jadi, Puan Yang di-Pertua, mengakhiri ucapan, Kalabakan mohon menyokong. Terima kasih.

draft • 6:20 PM

Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng

Terima kasih Yang Berhormat Kalabakan. Saya jemput Yang Berhormat Kubang Pasu.

draft • 6:20 PM

Dato’ Wira Dr. Ku Abd Rahman bin Ku Ismail - Kubang Pasu

Terima kasih Puan Yang di-Pertua kerana memberikan ruang kepada saya untuk membahaskan Rang Undang-undang Profesion Kerja Sosial 2026 pada hari ini.

Puan Yang di-Pertua, rang undang-undang (RUU) ini bertujuan untuk mengadakan peruntukan bagi penubuhan Majlis Profesion Kerja Sosial Malaysia, untuk mengawal selia pengamal kerja sosial dan perkhidmatan kerja sosial, dan untuk mengadakan peruntukan bagi perkara-perkara yang berkaitan.

RUU ini mengiktiraf pekerja sosial sebagai satu profesion. Antara fungsi MPKSM ialah meluluskan permohonan perakuan amalan, membangunkan piawaian kompetensi profesion, mengawal selia etika serta kelakuan profesion pengamal kerja sosial dan pelatih selain dari mempromosi kesedaran mengenai profesion berkenaan.

Selain itu, RUU ini memperuntukkan penubuhan daftar pengamal kerja sosial dan pelatih kerja sosial di samping menetapkan syarat permohonan perakuan amalan bagi warganegara. RUU ini juga mengandungi peruntukan mengenai prosiding tatatertib, rayuan, pengeluaran dan kemasukan semula dalam daftar serta kesalahan termasuk menjalankan perkhidmatan kerja sosial atau mengemukakan diri sebagai pengamal kerja sosial tanpa perakuan yang sah.

Penggubalan RUU ini penting bagi mencapai cabaran sosial dan bagi menjaga kebajikan dan kesejahteraan rakyat terutamanya kanak-kanak, wanita, warga emas yang rentan, orang-orang yang kurang upaya dan semua golongan masyarakat yang memerlukan. RUU ini juga penting bagi persediaan negara menghadapi status negara tua menjelang 2030 nanti di mana 15 peratus penduduk akan berusia lebih daripada 60 tahun ke atas.

Sebenarnya sudah dua kali usaha untuk menggubal RUU ini dirancang.

Pertamanya pada Oktober 2017 dan kali kedua pada 2021, namun ia tak dapat direalisasikan. Semuanya mengambil masa 10 tahun seperti mana yang dinyatakan oleh Yang Berhormat Menteri tadi.

Bagi pandangan Kubang Pasu, RUU ini yang mengandungi 36 seksyen ini adalah satu usaha yang baik yang harus diberi sokongan. Tahniah dan syabas kepada Menteri.

Puan Yang di-Pertua, permintaan global untuk pekerja sosial kian meningkat.

Negara-negara seperti Amerika Utara, Eropah, Asia Pasifik sedang mengambil pekerja sosial yang berkelayakan untuk menangani warga tua, peningkatan kesihatan mental, jurang perlindungan kanak-kanak dan program integrasi. Peranan- peranan mereka ialah termasuk clinical social workers, pegawai-pegawai pelindung kanak-kanak dan pekerja kesihatan mental.

Negara yang kekurangan pekerja sosial di dunia ini ialah seperti United Kingdom, Kanada, Australia, Jerman dan New Zealand. United Kingdom dan Australia menawarkan laluan pendaftaran berstruktur dan bekerja secara langsung di bawah National Health Service. Manakala Kanada dan Jerman memberikan fast PR routes melalui program-program pekerja berkemahiran.

Puan Yang di-Pertua, dalam peruntukan ini, saya ingin menyentuh tentang beberapa perkara dalam beberapa seksyen, fasal dalam RUU ini. Seksyen 14(3)― anggota jawatankuasa hendaklah dilantik dalam kalangan ahli anggota Majlis. Pada pandangan saya, elok jugalah jika anggota jawatankuasa hendaklah terdiri atau dilantik di kalangan anggota Majlis dan juga pihak luar yang mempunyai kepakaran dan kedudukan dalam masyarakat yang tertentu yang mampu memberi sumbangan yang bermakna kepada jawatankuasa.

Dalam fasal 14(2)(a), saya mencadangkan agar Timbalan Pengerusi Majlis dilantik sebagai pengerusi jawatankuasa untuk memberikan clout dan pengaruh kepada jawatankuasa. Fasal 19(1), ayat “permohonan hendaklah disertakan dengan fi”, saya mohon Menteri untuk memberikan pencerahan kenapakah fi ini perlu dibayar.

Seterusnya, fasal 23(3)(b) mengenai jawatankuasa tatatertib. Saya mencadangkan supaya Timbalan Pengerusi Majlis dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib. Sebab, jawatankuasa penyiasat sudah adalah pengerusi di kalangan ahli Majlis.

Puan Yang di-Pertua, Kubang Pasu ingin juga mencadangkan agar gaji atau upah kepada pekerja sosial harus dimasukkan ke dalam RUU ini. Ini perlu supaya bakat-bakat yang berhasrat untuk memilih bidang pekerjaan profesion kerja sosial ini dapat mengetahui apakah upah yang bakal diterima nanti. Saya akan memberikan contoh gaji, upah kepada pekerja sosial di beberapa buah negara. Contohnya, United Kingdom, GBP30,000 sehingga GBP50,000 setahun. Australia, AUD70,000 sehingga AUD100,000 setahun dan seterusnya. Singapore, SGD45,000 sehingga SGD80,000 setahun.

Puan Yang di-Pertua, terdapat universiti awam seperti UKM yang menawarkan program Ijazah Sarjana Sains Sosial dalam kerja sosial. Pelajar-pelajar ini didedahkan dengan pengetahuan asas kerja sosial serta intervensi profesional secara langsung dengan klien. Saya percaya siswa-siswi ini adalah insan yang bersedia untuk mendaftar dengan Majlis Profesion Kerja Sosial Malaysia untuk mencebur diri dalam profesion kerja sosial.

Sebelum mengakhiri perbahasan ini, izinkan saya menyentuh sedikit tentang PDK― pusat khidmat dalam komuniti. Saya sendiri pernah terlibat dalam PDK. Saya melihat tenaga kerja PDK ialah sebagai pekerja sosial yang tidak mendaftar. Mereka sepenuh masa menjaga kanak-kanak istimewa kurang upaya dengan gaji atau pun upah yang begitu rendah sekali iaitu hanya RM1,200 sebulan. Saya mohon Menteri untuk melihat perkara ini dan mempertimbangkan untuk memberikan gaji mereka yang lebih tinggi.

Puan Yang di-Pertua, bukan mudah bagi seseorang itu menjadi pekerja sosial. Mereka mesti memiliki ciri-ciri yang kebanyakan orang tidak ada. Kesabaran yang tinggi, ketabahan, nilai kasih sayang, loving dan mestilah seorang yang passionate iaitu sentiasa bersemangat dan love the job. Maka, pihak Majlis Profesion Kerja Sosial Malaysia mestilah memastikan pelantikan pekerja sosial yang memiliki ciri-ciri dan sifat-sifat yang saya sebutkan tadi.

Akhirnya Puan Yang di-Pertua, Kubang Pasu menyokong RUU Profesion Kerja Sosial 2026 yang dibentangkan. Sekian, terima kasih. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

draft • 6:21 PM

Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng

Terima kasih Yang Berhormat Kubang Pasu. Saya jemput Yang Berhormat Bakri.

draft • 6:21 PM

Tuan Tan Hong Pin - Bakri

Terima kasih Puan Yang di-Pertua. Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan syabas kepada kerajaan kerana setelah lama menunggu, akhirnya telah berjaya membawa rang undang-undang ini untuk diluluskan di Dewan yang mulia ini.

Selama ini, negara kita tidak mempunyai sebarang mekanisme yang berstatutori untuk mengawal selia profesion kerja sosial. Sesiapa pun saja, tanpa mengira kelayakan akademik atau pun berpengalaman, boleh mendakwa diri dia sebagai pengamal kerja sosial tanpa sebarang pertanggungjawaban undang- undang.

Dengan penubuhan Majlis Profesion Kerja Sosial berserta dengan sistem daftar, perakuan amalan dan prosiding tatatertib yang jelas, rang undang-undang ini akhirnya meletakkan profesion kerja sosial di landasan yang setanding dengan profesion-profesion yang lain seperti perubatan dan perundangan yang telah lama dikawal selia.

draft • 6:28 PM

Tuan Tan Hong Pin - Bakri

Bagaimanapun, fasal 10(1) rang undang-undang ini memberi kuasa pada Menteri untuk membatalkan pelantikan mana-mana ahli Majlis Profesion Kerja Sosial Malaysia yang dilantik iaitu wakil negeri-negeri wilayah Sabah, wilayah Sarawak dan pakar sektor awam serta swasta tanpa perlu memberikan apa-apa sebab bagi pembatalan tersebut.

Pada masa yang sama, fasal 12 yang meletakkan Majlis bertanggungjawab kepada Menteri dan membolehkan Menteri memberikan arahan bertulis yang wajib dipatuhi oleh Majlis. Membandingkan ini dengan model Social Work England di UK, ia merupakan badan pengawal selia kerja sosial yang bebas daripada kerajaan dan diselia bukan secara langsung oleh Setiausaha Negara tetapi melalui Professional Standards Authority yang bersifat neutral.

Malah, di bawah seksyen 64, Children and Social Work Act 2017, Setiausaha Negara Pendidikan UK sendiri diwajibkan secara berkanun untuk melantik seorang penyemak bebas (independent reviewer) bagi menilai prestasi badan tersebut dan laporan itu wajib dibentangkan di Parlimen bukan sekadar diputuskan oleh Menteri.

Modal kita sebaliknya meletakkan kuasa autonomi profesional dan kuasa politik dalam tangan yang sama. Satu susunan yang berisiko menjejaskan ketelusan dan integriti keputusan tatatertib Majlis khususnya apabila rayuan akhir juga jatuh dalam tangan Menteri yang sama di bawah fasal 28.

Kelemahan kedua yang ingin saya tekankan ialah ketidakhadiran keperluan Pembangunan Profesional Berterusan (CPE) yang mandatori bagi pembaharuan perakuan amalan. Fasal 19(4) hanya menetapkan bahawa pembaharuan perakuan amalan memerlukan permohonan dan fi yang ditetapkan tanpa sebarang syarat bilangan jam atau kredit pembangunan profesional yang mesti dipenuhi oleh pengamal kerja sosial. Ini amat berbeza dengan amalan antarabangsa.

Sebagai contoh, di Singapura pengamal pekerja sosial berdaftar diwajibkan mengumpul kredit CPE berstruktur dalam tempoh akreditasi sebelum layak memperbaharui pendaftaran mereka. Tanpa keperluan setara di negara kita, Fasal 4D menyebut Majlis mengadakan program pembangunan profesional hanya menjadi peruntukan bersifat hasrat atau dengan izin, aspirational tanpa daya penguatkuasaan yang sebenar. Ini juga akan membuka ruang kepada risiko pengamal kerja sosial kekal berdaftar selama-lamanya tanpa mengemas kini atau meningkatkan pengetahuan dan kemahiran mereka mengikut piawaian semasa.

Oleh itu Puan Yang di-Pertua, saya ingin mencadangkan kerajaan untuk mempertimbangkan dua pindaan berikut.

Yang pertama, memperkenalkan mekanisme semakan bebas ataupun sekurang-kurangnya syarat sebab munasabah secara bertulis bagi pembatalan pelantikan Ahli Majlis di bawah fasal 10.

Kedua, memasukkan keperluan CPE minimum sebagai syarat statutori untuk pembaharuan perakuan amalan di bawah fasal 19. Rang Undang-undang ini adalah langkah bersejarah yang wajar disokong tetapi ia akan menjadi lebih kukuh dan lebih setanding dengan piawaian antarabangsa jika kelemahan struktur ini dapat diperhalusi dan dipinda. Sekian, terima kasih.

draft • 6:30 PM

Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng

Terima kasih Yang Berhormat Bakri. Saya jemput Yang Berhormat Seputeh.

draft • 6:30 PM

Puan Teresa Kok Suh Sim - Seputeh

Terima kasih Puan Yang di-Pertua.

Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat atas pembentangan Rang Undang-undang Profesion Kerja Sosial ini. Ini adalah satu RUU yang telah lama dinanti-nantikan oleh banyak pihak. Ini juga adalah langkah yang penting untuk memperkukuh sistem perlindungan sosial negara dengan memartabatkan profesion kerja sosial di Malaysia.

Puan Yang di-Pertua, profesion kerja sosial merupakan barisan hadapan dalam menangani pelbagai isu sosial yang semakin kompleks. Saya diberitahu kes yang diterima oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat Kuala Lumpur telah meningkat daripada 663,628 kes pada tahun 2020 kepada lebih 1.01 juta kes pada tahun 2025 tetapi bilangan kakitangan JKM tidak bertambah. Keadaan ini menunjukkan penambahan perkhidmatan pekerja sosial adalah semakin mendesak.

Soalan saya adalah dengan wujudnya RUU ini, siapakah layak untuk mendaftar sebagai pekerja sosial? Adakah seseorang haruslah mempunyai kelayakan akademi social work ataupun graduan sains sosial ataupun psikologi dengan pengalaman dalam perkhidmatan kerja sosial baru layak didaftar sebagai pekerja sosial? Apakah guru-guru sekolah dan wakil rakyat seperti kita ini juga layak diiktiraf sebagai pekerja sosial?

Di Australia terdapat anggaran 46,000 orang pekerja sosial yang aktif berkhidmat di seluruh Australia manakala lebih 17,000 orang pekerja sosial berdaftar sebagai ahli di bawah Persatuan Pekerja Sosial Australia atau Australian Association of Social Worker (AASW). Pada waktu yang sama, terdapat sekitar 3,400 orang pekerja sosial yang berkhidmat di sektor kesihatan mental. Mereka mendapat akreditasi rasmi berkhidmat di bawah skim subsidi Medicare negara tersebut.

Mengikut laporan, lebih kurang 2,700 orang mencebur diri dalam bidang pekerja sosial setiap tahun.

Puan Yang di-Pertua, jumlah penduduk di Australia hanya 28 juta tetapi jumlah pekerja sosial yang berdaftar dan tidak berdaftar telah mencecah 50,000 orang. Di Hong Kong pula, Social Workers Registration Ordinance telah pun wujud sejak tahun 1997. Melalui ordinan ini, hanya individu yang berdaftar dibenarkan menggunakan gelaran social worker. Hong Kong mempunyai tujuh juta orang penduduk dan mempunyai 29,500 pekerja sosial berdaftar.

Puan Yang di-Pertua, Malaysia mempunyai 34 juta penduduk. Bilangan pekerja sosial di negara kita memang jauh lebih rendah berbanding dengan jumlah pekerja sosial di Australia dan Hong Kong dan juga negara-negara lain. Saya ingin tanya, apakah sasaran kementerian terhadap bilangan pekerja sosial di Malaysia?

Puan Yang di-Pertua, dengan wujudnya rang undang-undang ini, bagaimanakah rang undang-undang ini dapat benar-benar menyelesaikan cabaran yang dihadapi oleh pekerja sosial di Malaysia?

Satu, adakah kerajaan bercadang menetapkan standard kompetensi yang bersesuaian dengan realiti tempatan?

Kedua, macam manakah kerajaan mengadakan latihan pembangunan profesional berterusan supaya pekerja sosial sentiasa meningkatkan kemahiran mereka selaras dengan perubahan isu sosial?

Dan ketiga, bagaimana kementerian memberi pengiktirafan terhadap pekerja sosial yang telah lama berkhidmat tetapi tidak mengikuti laluan akademik semasa?

Saya ingin menyampaikan beberapa persoalan daripada NGO dalam bidang perkhidmatan sosial. Nombor satu ialah fasal 3 dalam RUU ini iaitu komposisi Majlis Profesion Kerja Sosial Malaysia. Walaupun Majlis ini diwujudkan sebagai badan profesional, struktur keanggotaannya menunjukkan dominasi pihak eksekutif.

Pengerusi ialah Ketua Setiausaha kementerian manakala Timbalan Pengerusi ialah Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat. Sebahagian besar anggota lain pula dilantik oleh Menteri. Model ini menimbulkan persoalan sama ada majlis benar- benar merupakan badan profesional yang bebas atau sekadar lanjutan pentadbiran kementerian sahaja.

draft • 6:34 PM

Puan Teresa Kok Suh Sim - Seputeh

Sekiranya kita lihat badan profesional lain seperti profesion guaman, perubatan dan seni bina, badan-badan profesional ini lazim memberi ruang yang lebih besar kepada ahli profesion untuk memilih barisan kepimpinan profesion mereka. Justeru, saya bercadang agar kementerian mempertimbangkan mekanisme untuk mengadakan pemilihan anggota kepimpinan secara demokratik oleh pengamal kerja sosial.

Yang kedua ialah fasal 10, kuasa Menteri membatalkan pelantikan. Seperti apa yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Bakri tadi. Fasal 10 membenarkan Menteri membatalkan pelantikan anggota majlis tanpa memberikan sebarang sebab.

Kuasa sedemikian boleh menimbulkan persepsi bahawa anggota majlis tidak mempunyai kebebasan institusi kerana pelantikan mereka bukan sepenuhnya kepada budi bicara Menteri.

Saya bercadang fasal ini dipinda supaya pembatalan pelantikan hanya boleh dibuat atas alasan yang dinyatakan secara jelas dalam akta dan disertakan dengan alasan bertulis. Sekian, terima kasih.

draft • 6:40 PM

Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng

Terima kasih Yang Berhormat Seputeh. Saya jemput Yang Berhormat Arau.

draft • 6:40 PM

Dato’ Seri Dr. Shahidan bin Kassim - Arau

*Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.* Rakyat Malaysia, orang-orang muda. Yang Berhormat Pengerusi, makluman ja nah, hari ini 13 orang je tinggal tapi tidak akan bangun untuk panggil kuorum sebab kita dah berbaik-baik. UMNO dah berbaik dengan PAS, jadi kita berbaik-baiklah. Yang keduanya sebab Menteri sahabat baik saya ini akan menjawab, akan terus menjawab dengan hebat dan dahsyat. 13 orang tidak apa makna, tiada masalah ya, mungkin sekejap lagi boleh masuk. Cuma dari segi perbahasan, kalau zaman dahulu Yang Berhormat masih ingat, DAP sering mengambil kesempatan untuk panggil kuorum, kami tidak. Kami memberikan kebebasan yang luar biasa pada rakyat Malaysia.

Yang Berhormat, hari ini kita bincang pasal skop RUU Profesion Kerja Sosial yang kalau kita lihat rakyat Malaysia melihat perkataan kerja sosial ini seolah-olahnya ialah— social workers ini ialah rakyat Malaysia. Tapi sebenarnya, kita bagi penumpuan khusus perkataan profesion itu. Makna kata, orang yang mempunyai degree, kelulusan yang tinggi, didaftarkan untuk menjadi pekerja sosial. Jadi, saya akan sentuh sekejap lagi perkara ini tapi sekarang ini yang kita ada masalah ialah bagaimana orang-orang yang sekarang ini berkhidmat sebagai sukarelawan, rakyat Malaysia. Apakah perlu kita buat lagi satu rang undang-undang? Rang Undang- undang Pekerja Sosial Rakyat Malaysia.

Saya— di antara orang yang terlibat dengan saya semasa banjir dulu.

Semasa banjir besar yang berlaku dulu, 600,000 orang mangsa. 600,000 kita libatkan ber—hampir ratus— berpuluh ribu pekerja sosial untuk mengendalikan 600,000. Mereka ini siapa? Mereka ini tak didaftar. Mereka ini Pak Man, Razali Che Man, Pak Kob, DJ Amir, Pak Razak. Ini dia orang yang berada— Ling, Ah Chong, Ramasamy. Ini— orang ini barisan hadapan, mereka inilah sukarelawan. Jadi, mereka— bila saya hubungi mereka tentang rang undang-undang ini, dia kata, “Kami tak daftarkah?” Tak, ini ialah untuk profesion orang yang ada kelulusan profesional berhubung dengan kerja sosial.

Jadi, saya nak minta Yang Berhormat supaya— masa pendek ya, supaya ini kita dah sahkan kelulusan. Saya minta supaya pekerja-pekerja sosial, terutama daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat yang mempunyai pengalaman 10 tahun menjaga OKU, menjaga pelbagai orang-orang yang sekarang kita akan bagi penjagaan, supaya mereka didaftarkan. Bukan kita kata jabatan kerajaan ini tak perlu didaftarkan, mereka boleh daftar kalau mereka mahu dan sebagainya. Tetapi kita kena daftarkan mereka sebagai pekerja sosial, terutamanya orang yang berpengalaman.

Yang Berhormat Menteri yang saya kasihi. Yang pertama sekali, ini luar skop RUU tetapi dia berkaitan dengan RUU sebab Timbalan Pengerusinya ialah Ketua Pengarah Kebajikan. Jadi Yang Berhormat, sekarang kita lihat— Jabatan Kebajikan ini dilihat sebagai jabatan yang rendahlah dari segi pengiktirafan kepada jabatan- jabatan hebat di Malaysia ini. JKM ini kira rendah tetapi sekarang dia mengendalikan 7,000 kakitangan, mengendalikan 600,000 orang penerima bantuan, mengendalikan bajet RM3 bilion tapi Ketua Pengarahnya JUSA B. Di peringkat negeri juga rendah, 48 dan sebagainya.

Sewajarnya kita kena bagi perhatian sebab bukan senang nak jaga 600,000 orang ini. Kita boleh cakap dengan orang-orang biasa ini sekali dia faham tapi 600,000 ini melibatkan banyak penerima-penerima yang terdiri daripada pelbagai golongan yang kadang-kadang kita kena cakap empat kali, lima kali dari segi pemahaman. Jadi, kerja mereka tertekan.

Jadi, saya cadangkan supaya dinaikkan taraf Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Saya memberi— termasuk nama di Parlimen ini, Che Murad Sayang, Ketua Pengarah JKM. Janganlah orang mencemburu— hukum dia pula. Kadang-kadang kena sebut nama di Parlimen, dia kena hukum. Patutnya kita puji dia kerana dia telah memberi perkhidmatan yang terbaik. Dan kita tak boleh - kalau Ahli Parlimen sebut je, mereka ini akan dihukum, apa punya cerita ini? Ini bukan cerita yang patut dibawa contoh yang baik. Kita puji ini pegawai kerajaan yang telah bekerja dengan begitu hebat.

Yang keduanya, sekali lagi— saya sebutkan sekali lagi Yang Berhormat, tentang frontliner. Contohnya, arahan MKN menyebut bahawa kalau berlaku banjir, dia tak sebut nak tunggu sukarelawan daripada mana-mana tempat. Kita ada sukarelawan JKM, kita ada sukarelawan daripada parti-parti politik seperti PAS ada Amal, UMNO ada Skuad Sabil sebagai contoh, pelbagai. Tetapi mereka ini— yang ditubuh ini, sukarelawan pun akan datang nombor dua. Nombor satu, yang nuh, Pak Mat, Ramasamy, Ah Chong di kampung itu, mereka akan berada di barisan hadapan.

Jadi, mereka ini kita kena bagi sedikit pengiktirafan.

Apakah ada satu kita perlukan buat rang undang-undang, mungkin tak perlu.

Tetapi pengiktirafan bahawa inilah sukarelawan yang besar, yang negara perlukan.

Frontliner, orang di barisan hadapan yang mereka sekarang ini tanya saya, apakah mereka termasuk? Saya kata, tak termasuk sebab ini dia ambil orang yang ada kelulusan dan sebagainya.

Yang saya menyokong rang undang-undang ini dengan sepenuhnya Menteri kerana seperti Menteri telah bacakan tadi, saya nak baca lagi satu iaitu Jepun 125 juta penduduk, 321,846 pekerja sosial. Tiap-tiap satu pekerja sosial bersamaan 389 penduduk. Dan Malaysia yang paling terlekeh sekali, di mana kita ada 3,814. Satu pekerja sosial : 8,500, yang paling rendah sekali dibandingkan hampir semua negara-negara.

Jadi, kita berharap dengan rang undang-undang ini mampu untuk meningkatkan jumlah pekerja sosial dan untuk membolehkan juga pekerja sosial ini - di samping kita ambil mereka yang berkelulusan, mereka yang berpengalaman juga kena diambil kira ya. Jadi, pengiktirafan kepada barisan hadapan ini perlu, Yang Berhormat. Seminit lagi. Kerana perlu— saya bagi contoh, dulu kawasan Yang Berhormat pernah kena banjir. Yang Berhormat tahu, yang pergi sana bukan sukarelawan daripada jabatan tetapi orang-orang yang ada di hadapan sana. Mereka memindahkan orang, lepas itu baru polis datang dan sebagainya.

Jadi, kita minta supaya satu bentuk pengiktirafan diberikan kepada mereka ini agar mereka juga ialah sebahagian daripada sukarelawan sebab yang ini ialah RUU Profesion Sukarelawan. Dia tak termasuk mereka yang kita sebut sukarelawan Pak Mat, Pak Ngah, Li Che Man, Razak dan sebagainya di peringkat bawah tadi.

Jadi, saya nak bagi tahu sekali lagi. Saya ingin menyatakan sokongan saya tak berbelah bagi kepada rang undang-undang ini. Cuma dipertingkatkan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan diberi pengiktirafan yang luar biasa kepada frontliners yang telah bagi bantuan selama ini. Saya— orang komplen ini Jabatan Kebajikan, saya kesian dengan Jabatan Kebajikan.

draft • 6:41 PM

Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng

Yang Berhormat.

draft • 6:41 PM

Dato’ Seri Dr. Shahidan bin Kassim - Arau

Satu. Orang komplen Jabatan Kebajikan sebab pendaftaran lambat dan sebagainya. Padahal yang buat kerja pendaftaran itu sukarelawan dan mereka ditekan dengan teruknya oleh kerana tak ramai. Jadi, sekarang ini ramaikan sukarelawan kebajikan dan juga lain-lain lagi. Dan beri pengiktirafan kepada mereka yang sedang berkhidmat, sukarelawan yang berkhidmat sekarang seperti khidmat Malaysia yang diketuai oleh Pengkalan Chepa dan juga sukarelawan daripada parti-parti politik yang telah disebutkan tadi.

Termasuk Pasukan Amal, pasukan...

draft • 6:41 PM

Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng

Terima kasih Yang Berhormat Arau.

draft • 6:41 PM

Dato’ Seri Dr. Shahidan bin Kassim - Arau

Terima kasih. Terima kasih Speaker kerana bertolak ansur. Saya tahu maghrib sedang menjelang tiba. Jadi insya-Allah, kita ke sana.

draft • 6:41 PM

Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng

Terima kasih.

Sekarang saya jemput Yang Berhormat Bentong.

draft • 6:50 PM

Puan Young Syefura binti Othman - Bentong

Terima kasih Puan Yang di- Pertua. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Saya seperti kawan-kawan yang lain juga, saya bangun pada hari ini menyatakan sokongan penuh terhadap Rang Undang-undang Profesion Kerja Sosial 2026 yang sedang dibahaskan ini.

Pertama sekali, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada Yang Berhormat Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta seluruh warga kementerian kerana akhirnya berjaya membawa rang undang-undang yang telah lama dinantikan. Ini bukan sekadar satu lagi rang undang-undang. Ini merupakan satu reformasi penting dalam usaha kita memartabatkan profesion kerja sosial sebagai satu profesion yang diiktiraf, dihormati dan dilindungi oleh undang-undang.

Puan Yang di-Pertua, apabila kita bercakap tentang kebajikan, ramai yang membayangkan wang tunai, bakul makanan ataupun sumbangan ketika bencana tetapi hakikatnya, kerja sosial ini jauh lebih besar daripada itu. Ia tentang seorang ibu tunggal yang hilang tempat bergantung, ia tentang seorang kanak-kanak yang menjadi mangsa penderaan, ia tentang seorang warga emas yang ditinggalkan bersendirian.

Ia tentang seorang OKU yang memerlukan akses kepada perkhidmatan dan peluang hidup yang lebih baik. Ia juga tentang seorang remaja yang bergelut dengan masalah kesihatan mental dan di sebalik setiap kisah ini, ada insan-insan yang bekerja tanpa mendapat banyak perhatian.

Mereka turun ke rumah-rumah usang, mereka menemu bual mangsa, mereka menyelaras bantuan daripada pelbagai agensi, mereka mendengar tangisan, menyaksikan penderitaan dan membantu rakyat bangkit semula. Mereka ialah pekerja sosial. Malangnya, sumbangan mereka selama ini sering tidak mendapat pengiktirafan yang sewajarnya. Oleh itu, inilah rang undang-undang yang sangat penting pada hari ini.

Puan Yang di-Pertua, saya percaya sudah tibanya masyarakat mengubah persepsi terhadap profesion ini. Kerja sosial bukan sekadar melakukan kerja sukarela atau memberi bantuan kepada orang susah. Ia merupakan satu profesion yang memerlukan ilmu, kemahiran, latihan dan etika yang sangat tinggi. Seorang pekerja sosial juga perlu memahami psikologi manusia, mereka perlu memahami undang-undang perlindungan kanak-kanak, keganasan rumah tangga, pembangunan komuniti, kesihatan mental, kaunseling serta pengurusan krisis.

Kesilapan membuat penilaian boleh menyebabkan seorang kanak-kanak terus menjadi mangsa penderaan. Kesilapan membuat intervensi boleh menyebabkan sebuah keluarga terus hidup dalam penderitaan.

Sebab itulah profesion ini memerlukan standard profesional yang jelas dan sistem kawal selia yang mantap. Kita juga perlu berpijak di bumi yang nyata. Data yang dibentangkan menunjukkan kes-kes yang dikendalikan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat meningkat sekitar 660,000 kes pada tahun 2020 kepada lebih satu juta kes pada tahun 2025. Ini bermaksud dalam tempoh lima tahun, beban kerja meningkat hampir dua kali ganda. Namun, jumlah pekerja profesional tidak berkembang pada kadar yang sama.

Hari ini, seorang pekerja sosial di Malaysia perlu berhadapan dengan kira- kira 9,800 orang penduduk. Sebagai perbandingan, Singapura mencatatkan nisbah sekitar 1:3,400 penduduk. Jurang ini amat besar. Apabila seorang pekerja sosial perlu menguruskan terlalu banyak kes dalam satu masa, kita tidak boleh menyalahkan mereka sekiranya ada kelewatan. Masalahnya bukan pada komitmen mereka, masalahnya ialah sistem yang masih kekurangan tenaga kerja.

Puan Yang di-Pertua, di kawasan saya sendiri di Bentong, saya melihat sendiri bagaimana pegawai kebajikan dan pekerja sosial bekerja tanpa mengira masa. Pada waktu pagi, mereka menguruskan keluarga miskin yang kehilangan sumber pendapatan. Tengah hari pula, mereka menerima aduan warga emas yang hidup bersendirian. Pada sebelah petang pula, mereka perlu menyiasat kes penderaan kanak-kanak ataupun keganasan rumah tangga.

Setiap kes memerlukan lawatan ke rumah, penyediaan laporan, perbincangan bersama polis, hospital, sekolah dan pelbagai agensi lain. Ini bukan sekadar kerja yang boleh disiapkan dalam masa beberapa jam, inilah kerja yang memerlukan kesabaran, empati, kemahiran dan kekuatan emosi yang luar biasa.

Sebab itu saya benar-benar menghargai pengorbanan semua pekerja sosial di negara ini.

Puan Yang di-Pertua, saya juga ingin menyentuh beberapa perkara yang kita sering lupa. Dalam kita bercakap mengenai kebajikan rakyat, jangan kita lupa kebajikan pekerja sosial itu sendiri. Setiap hari mereka mendengar kisah penderaan, mereka melihat kemiskinan, mereka berhadapan dengan trauma dan penderitaan orang lain. Tekanan emosi yang mereka tanggung bukan sesuatu yang kecil.

Justeru, saya berharap kementerian memberikan perhatian kepada aspek kesejahteraan mental pekerja sosial sendiri melalui program sokongan psikologi, latihan pengurusan tekanan dan laluan kerjaya yang lebih jelas supaya mereka terus kekal berkhidmat dalam profesion ini.

Walaupun saya menyokong penuh rang undang-undang ini, saya ingin mengemukakan beberapa persoalan kepada Yang Berhormat Menteri. Pertama mengenai liputan pemakaian akta. Saya menyambut baik kewajipan pendaftaran kepada pekerja sosial dalam sektor swasta dan NGO. Namun, saya ingin mendapatkan penjelasan, siapakah sebenarnya yang diwajibkan mendaftar di bawah akta ini? Adakah ia melibatkan semua individu yang menjalankan kerja sosial atau hanya mereka yang memenuhi kelayakan profesion tertentu?

Saya juga ingin bertanya, mengapakah pekerja sosial di sektor kerajaan khususnya pegawai di Jabatan Kebajikan Masyarakat dikecualikan daripada kewajipan pendaftaran ini? Adakah terdapat rasional atau dasar tertentu yang menjadi pertimbangan kerajaan?

Kedua, mengenai skor pelaksanaan di peringkat komuniti. Saya berharap akta ini tidak menimbulkan kekeliruan ataupun membebankan para sukarelawan, penggerak komuniti dan badan-badan kebajikan yang telah lama membantu masyarakat. Di Bentong misalnya, terdapat banyak NGO dan sukarelawan yang aktif seperti Pertubuhan Bentong Kita dan Persatuan Orang Kurang Upaya Bentong

(POKUB).

Mereka bukan pekerja sosial profesional tetapi mereka memainkan peranan yang penting yang sangat besar dalam membantu rakyat dan saya berharap rang undang-undang ini tidak akan membantutkan usaha murni mereka melalui birokrasi yang tidak diperlukan.

Ketiga, saya menyambut baik penubuhan Majlis Profesion Pekerja Sosial Malaysia, namun saya berharap majlis ini benar-benar bersifat inklusif. Selain wakil kerajaan dan profesional, saya berharap terdapat juga penyertaan daripada NGO, akademia, sektor swasta dan organisasi masyarakat sivil supaya pandangan pelbagai pihak dapat diambil kira dalam membangunkan profesion ini.

Puan Yang di-Pertua, saya juga ingin mencadangkan supaya majlis tidak hanya berperanan sebagai badan pendaftaran. Majlis ini perlu menjadi badan yang benar-benar membangunkan profesion, latihan profesional berterusan (continuous professional development) perlu diberikan penekanan. Cabaran hari ini jauh berbeza seperti 10 tahun dahulu. Pekerja sosial kita berhadapan dengan isu eksploitasi seksual kanak-kanak secara dalam talian, kesihatan mental, penagihan dadah, penuaan penduduk, gelandangan bandar serta keganasan rumah tangga yang semakin kompleks.

Latihan yang berterusan amat penting supaya sentiasa bersedia menghadapi cabaran. Puan Yang di-Pertua, yang terakhir. Malaysia juga sedang diuji status negara tua menjelang 2030. Bilangan warga emas terus meningkat. Keperluan kepada penjagaan komuniti, penjagaan jangka panjang dan sistem sokongan sosial juga akan bertambah. Dalam masa yang sama, isu kesihatan mental, kemiskinan bandar dan cabaran institusi keluarga turut semakin meningkat. Semua ini memerlukan lebih ramai pekerja sosial yang profesional.

Justeru, saya ingin bertanya kepada Yang Berhormat Menteri, apakah kementerian mempunyai sasaran nasional untuk meningkatkan bilangan pekerja sosial profesional dalam tempoh lima sehingga 10 tahun akan datang? Akta ini amat baik tetapi kita juga memerlukan perancangan tenaga kerja yang jelas supaya pelaksanaannya benar-benar memberi impak kepada rakyat.

Akhir sekali Puan Yang di-Pertua, saya ingin mengingatkan bahawa masyarakat hari ini hanya melihat apabila sesuatu tragedi telah berlaku tetapi pekerja sosial melihat penderitaan manusia setiap hari. Mereka hadir sebagai ibu yang kehilangan harapan, mereka hadir ketika kanak-kanak memerlukan perlindungan, mereka hadir ketika seorang warga emas tidak mempunyai sesiapa untuk bergantung. Mereka bukan sekadar menguruskan fail, mereka memulihkan kehidupan dan mereka bukan sekadar menyelesaikan masalah tetapi mereka mengembalikan harapan.

Oleh itu, rang undang-undang ini bukan sekadar menubuhkan majlis profesion tetapi ia adalah pelaburan negara dalam membina sistem perlindungan sosial yang lebih kukuh, masyarakat yang lebih penyayang dan negara yang lebih berperikemanusiaan. Dengan itu, Bentong menyokong sepenuhnya. Sekian, terima kasih. Assalamualaikum.

draft • 6:50 PM

Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng

Terima kasih Yang Berhormat Bentong. Sekarang saya minta Yang Berhormat Menteri menjawab.

Masa, 30 minit.

draft • 6:50 PM

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat - Dato’ Sri Hajah Nancy binti Shukri

Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Saya bagi pihak kementerian mengucapkan banyak terima kasih kepada 23 orang Yang Berhormat Ahli Dewan Rakyat yang telah bangun membahaskan RUU Profesion Kerja Sosial sebentar tadi.

Bagi tidak melengahkan masa, saya terus menjawab. Yang pertama tadi, saya ingin memberi maklum balas terhadap pertanyaan mengapa pegawai awam dikecualikan daripada pemakaian akta yang dibangkitkan oleh beberapa Ahli Yang Berhormat. Untuk makluman, akta ini memberi penekanan kepada perakuan amalan sektor swasta dahulu. Pendaftaran di bawah akta ini adalah wajib kepada semua individu di sektor swasta yang mengamalkan kerja sosial termasuk di bawah badan bukan kerajaan, organisasi berasaskan komuniti, syarikat korporat dan secara persendirian.

Seterusnya, pendaftaran juga adalah wajib kepada pegawai awam yang mengamalkan kerja sosial di luar tugas rasmi kerajaan. Walau bagaimanapun, permohonan untuk bekerja di luar itu memerlukan kebenaran ketua jabatan selaras dengan Peraturan-Peraturan Pegawai Awam iaitu (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 di bawah Kerajaan Persekutuan dan Peraturan-Peraturan Pegawai Awam di peringkat kerajaan negeri yang sedang berkuat kuasa. Pada masa yang sama, tiada halangan kepada pegawai awam yang lain yang layak untuk mendaftar di bawah akta ini.

draft • 6:58 PM

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat - Dato’ Sri Hajah Nancy binti Shukri

Selain itu, Majlis Profesion Kerja Sosial Malaysia boleh berunding dan menilai perluasan pemakaian akta ini pada masa hadapan. Pendekatan ini ditetapkan berdasarkan penilaian yang teliti. Pilihan ini didorong oleh pertimbangan pragmatik dengan mengambil kira keadaan semasa profesion kerja sosial di Malaysia.

Pekerja sosial kerajaan beroperasi dalam sistem yang telah pun menyediakan tahap penyeliaan tertentu. Sebaliknya, sektor swasta pada masa ini tidak mempunyai struktur atau sokongan asas sedemikian serta tidak mempunyai sebarang struktur perundangan, takbir urus, kawalan atau sokongan. Malah, sehingga kini tiada data mengenai pekerja sosial di sektor swasta di Malaysia.

Walaupun data dan maklumat tersebut tersedia bagi pegawai awam di kementerian masing-masing.

[Timbalan Yang di-Pertua (Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor) **mempengerusikan Mesyuarat****] Penyertaan pekerja sosial sektor awam secara mandatori pada peringkat ini memerlukan penyelarasan antara agensi yang kompleks dan intensif bagi menyeragamkan dan memuktamadkan pelan kelayakan dan kompetensi. Ini kerana terdapat pelbagai kategori pekerja sosial yang berbeza di pelbagai kementerian dan agensi dalam perkhidmatan awam termasuk di peringkat negeri.

Keadaan ini akan melambatkan proses penggubalan undang-undang dengan ketara dan mengalihkan sumber daripada usaha pemerkasaan pekerja sosial dan penubuhan Majlis Profesion Kerja Sosial Malaysia. Penubuhan Majlis adalah langkah pertama yang perlu dilaksanakan agar pakar-pakar dari setiap kementerian dan agensi kerajaan, pekerja sosial yang berpengalaman daripada kedua-dua sektor awam dan sektor swasta dapat dikumpulkan bersama bagi merangka dan memuktamadkan kerangka kelayakan dan kompetensi pengamal kerja sosial sebelum usaha lain dapat diteruskan bagi memperkasakan profesion ini.

Ini kerana, mereka yang berpengalaman dalam bidang kerja sosial merupakan pemegang taruh yang benar-benar memahami keperluan bidang tersebut dan akan membuat pilihan dan keputusan yang terbaik untuk bidang kerja mereka.

Oleh itu, pemakaian mandatori secara berperingkat atau berfasa adalah pendekatan pragmatik yang patut diambil pada masa ini. Kerajaan kekal komited terhadap matlamat jangka panjang kerangka pengawalseliaan bersepadu yang menyeluruh serta membangunkan roadmap dengan izin, yang bersesuaian bagi semua pekerja sosial di sektor awam dan di Malaysia secara amnya.

Seterusnya Tuan Yang di-Pertua, tadi ada soalan daripada Ipoh Timor, tak tau kalau Ipoh Timor tak ada di sini, saya akan beri jawapan bertulis bagi menjimatkan masa. Juga daripada— ada juga Ipoh Timor sama dengan Rantau Panjang, yang bertanya mengenai standard kompetensi pekerja sosial sektor awam dan mahukan ia setara dengan swasta.

Jadi, standard kompetensi pekerja sosial di sektor awam akan dipastikan setara dengan pengamal kerja sosial berdaftar di bawah akta ini. Ini kerana pegawai awam yang dilantik dalam sektor kerajaan mempunyai kelayakan akademik, pengalaman dan latihan yang sewajarnya dan kerajaan sentiasa menambah baik SOP, manual kerja, peraturan dalaman dan peraturan am untuk memastikan kompetensi pegawai awam sentiasa berada pada tahap yang dikehendaki.

Pegawai awam sentiasa diberikan latihan dari semasa ke semasa, terutamanya melalui Institut Sosial Malaysia yang menawarkan latihan dalam bidang kerja sosial. Justeru, mereka akan dilengkapkan dengan set kemahiran yang sama seperti yang ditetapkan ke atas pengamal kerja sosial di bawah akta ini bagi memastikan standard kompetensi yang tinggi.

Standard sedia ada pegawai awam termasuk badan berkanun yang melakukan kerja sosial akan terus dipertingkatkan walaupun mereka tidak diwajibkan berdaftar di bawah akta ini sekiranya tidak beramal di luar tugas rasmi.

Piawaian Kompetensi Kebangsaan Praktis Kerja Sosial yang telah dibangunkan oleh JKM dijadikan sebagai rujukan bagi mengenal pasti kompetensi yang perlu dikuasai oleh pegawai mengikut bidang tugas dan tahap jawatan yang disandang.

Piawaian ini menjadi panduan dalam menentukan pengetahuan, kemahiran, sikap dan nilai profesional yang perlu dimiliki oleh setiap pegawai agar penyampaian perkhidmatan sosial dapat dilaksanakan secara konsisten dan berkualiti.

Dalam masa yang sama, pelbagai latihan dan kursus berkaitan kerja sosial turut diwajibkan ke atas pegawai awam yang dilantik untuk melaksanakan kerja sosial. Profesionalisme pekerja sosial dalam kerajaan juga dikawal selia oleh peraturan, kod etika serta undang-undang sedia ada.

Sebagai contoh, pegawai JKM yang tidak mempunyai latar belakang dalam bidang kerja sosial akan diberi peluang untuk mengikuti program pensijilan profesional seperti Program Diploma Pasca Siswazah Kerja Sosial ataupun DPSKS dan Sijil Profesional Asas Kerja Sosial yang bertujuan memperkukuh kompetensi dalam amalan kerja sosial. Program ini bukan sahaja meningkatkan pengetahuan dan kemahiran praktikal, malah menyokong usaha memperkukuhkan profesionalisme kerja sosial.

Sehingga kini seramai 111 orang pegawai JKM mengikuti Program DPSKS dan seramai 478 telah menghadiri Program SPAKS. Selain itu, pegawai awam diwajibkan untuk mematuhi arahan, menghadiri latihan berkaitan tugas hakiki selama 40 jam setahun, di bawah Dasar Pembangunan Bakat Perkhidmatan Awam. Selain itu, pegawai awam juga menjalani latihan berterusan di lapangan di bawah penyeliaan ketua masing-masing.

Bagi menyokong pembangunan kompetensi tersebut, JKM juga telah membangunkan Training Roadmap melalui Pelan Pembangunan Profesional Skim Pembangunan Masyarakat di JKM yang menyediakan laluan latihan secara sistematik mengikut skim perkhidmatan gred dan penempatan. Melalui Training Roadmap ini, pegawai akan mengikuti latihan yang bersesuaian dengan deskripsi tugas serta tanggungjawab masing-masing bagi meningkatkan kompetensi fungsian, kompetensi pimpinan serta kompetensi generik yang diperlukan sepanjang perkembangan kerjaya.

Tadi Rantau Panjang, cadangan RUU PKS mengambil kira kebajikan pekerja sosial berdaftar dalam mengendalikan kes sosial. Melalui penubuhan Majlis Profesion Kerja Sosial akan ditubuhkan jawatankuasa kerja yang akan melibatkan semua aspek pengurusan profesion kerja sosial termasuk self-care dengan izin, untuk pekerja sosial berdaftar melalui peraturan dan garis panduan yang akan dibangunkan.

Maran tak ada di sini. Tadi Arau, bagaimana sukarelawan diiktiraf dan dikawal sekali. Akta ini tidak terpakai, saya sebut ini kerana ada juga YB lain tadi menyebut akta ini tidak terpakai bagi sukarelawan. Bezanya, sukarelawan adalah berbeza.

Mereka menyampaikan aktiviti-aktiviti kebajikan atau aktiviti amal.

Namun begitu, sukarelawan yang ingin menawarkan perkhidmatan profesional secara sukarela dalam mana-mana NGO kebajikan sosial, adalah tertakluk kepada undang-undang profesion masing-masing yang berkuat kuasa.

Ini daripada Betong tadi. Bertanyakan apakah bidang pengajian berkaitan dengan profesion kerja sosial. Graduan baharu dalam bidang kerja sosial atau bidang yang berkaitan seperti bidang psikologi, sosiologi, pendidikan awal kanak- kanak, gerontologi, sains kemanusiaan dan sebagainya dalam kalangan warganegara Malaysia boleh berdaftar dengan Majlis untuk mendapatkan perakuan interim bagi tujuan mendapatkan pengalaman kerja sosial.

Selepas memenuhi keperluan dan tempoh pengalaman yang ditetapkan, mereka boleh memohon bagi mendapatkan perakuan amalan daripada Majlis untuk mengamalkan kerja sosial tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan oleh Majlis melalui peraturan.

Seterusnya, Seputeh tak ada sini, Ipoh Timor juga tak ada di sini. Saya jawab lagi untuk yang lain, yang ada di dalam Dewan. Ada beberapa soalan daripada Ipoh Timor. Kuala Krai, tak ada di sini. Ini YB Puchong, Puchong pun tak ada. Wangsa Maju ada? Wangsa Maju tak ada. Kita skip.

draft • 7:00 PM

Tuan Ir. Ts. Zahir bin Hassan - Wangsa Maju

Wangsa Maju ada.

draft • 7:00 PM

Dato’ Sri Hajah Nancy binti Shukri

Ada. Oh, Wangsa Maju ada. Okey, ya.

Wangsa Maju kejap, saya cari tadi, takut hilang. Okey, tak apa, nanti ada— Wangsa Maju ingin mengetahui pelaksanaan pendaftaran pekerja sosial di NGO akan dilaksanakan secara berperingkat.

Jadi, akta ini bagi Wangsa Maju, akta ini akan dikuatkuasakan secara berperingkat di mana Menteri boleh menentukan tarikh yang berlainan bagi kuat kuasa peruntukan yang berlainan. Oleh itu, pada peringkat awal penubuhan Majlis dan pembangunan peraturan pendaftaran praktis kerja sosial yang telah dan sedang dijalankan masih boleh diteruskan dengan syarat permohonan pendaftaran di bawah akta ini perlu dibuat apabila peruntukan berkaitan mula berkuat kuasa.

Lagi Wangsa Maju, terdapat pertanyaan berhubung institut pengajian tinggi tempatan yang menawarkan kursus kerja sosial.

draft • 7:00 PM

Dato’ Sri Hajah Nancy binti Shukri

Untuk Kursus Kerja Sosial, Diploma Kerja Sosial ada Kolej Methodist Kuala Lumpur, Methodist Pilley Institute, Sibu, UNIRAZAK Kuala Lumpur dan Ijazah Sarjana Muda Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Malaysia Sabah

(UMS) dan juga Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Sains Malaysia

(USM), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Malaya.

Dan Ijazah Sarjana ada Lincoln University College, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Sains Malaysia, Universiti Utara Malaysia. Dan akhirnya Ijazah Doktor Falsafah, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Sains Malaysia, Universiti Utara Malaysia. Ada juga yang lain tadi bertanya mengenai soalan yang sama ya. So, ambil perhatian kepada jawapan tersebut.

draft • 7:10 PM

Tuan Ir. Ts. Zahir bin Hassan - Wangsa Maju

YB menteri, minta laluan sedikit. Soalan tambahan. Adakah perancangan kementerian setelah berbincang dengan KPT untuk menambahkan lagi kursus-kursus di institusi-institusi yang lain?

draft • 7:10 PM

Dato’ Sri Hajah Nancy binti Shukri

Kalau dari segi secara tidak formalnya memang ada tetapi setakat ini biar kita tumpukan dengan apa yang ada pada hari ini dulu ya Yang Berhormat. Kita nak apa nama nak pastikan ini boleh membantu kita dan lepas itu kita akan bukakan ruang itu. Kerana ia memberi peluang juga kepada mereka yang bekerja dengan kerajaan, terutama sekali pegawai-pegawai kita juga mungkin mereka berminat untuk melanjutkan pelajaran cuma memerlukan apa nama kursus-kursus yang lebih khusus, K.H.U.S.U.S— lebih khusus kepada pengalaman yang mereka ada ya. Terima kasih.

Berhubung dengan gaji atau kadar ini ditanya oleh Wangsa Maju juga, kadar upah. Perkara ini tidak dimasukkan dalam akta tetapi penempatan, penetapan gaji minima yang ditentukan oleh perundangan lain yang sedang berkuat kuasa adalah terpakai. Di masa hadapan juga boleh ditentukan oleh Majlis.

draft • 7:10 PM

Dato' Wira Dr. Ku Abd Rahman bin Ku Ismail - Kubang Pasu

Dato’ Yang di-Pertua, Dato’ Yang di-Pertua, minta laluan ya, Menteri. Kubang Pasu pun tanya juga fasal gaji tak masuk dalam tu. Bukan Wangsa Maju ja, Kubang Pasu pun tanya.

draft • 7:10 PM

Dato’ Sri Hajah Nancy binti Shukri

Tak apa. Sebabnya ada di sini. Jadi kalau begitu, mungkin saya tak perlu ulang jawapannya. Namun dalam gazet, dalam kita punya tu insya-Allah kita akan masukkan ya bagi menjimatkan masa. Maghrib tak lama lagi. Terima kasih. Saya harap ada juga yang lain juga ada soalan yang sama.

Untuk Wangsa Maju lagi, adakah Majlis akan diberikan sumber pembiayaan untuk berfungsi. Bukan soalan Wangsa Maju saja, ada tadi yang bertanya. Jadi, jawapannya ialah fasal 16 rang undang-undang ini memperuntukkan kerajaan hendaklah memperuntukkan dana yang mencukupi bagi Majlis secara tahunan untuk membolehkan Majlis melaksanakan fungsi-fungsinya. Ini bermaksud kementerian ini akan diperuntukkan sejumlah perbelanjaan mengurus pada setiap tahun bagi tujuan operasi ya. Okey, terima kasih.

Seterusnya tadi YB Kapar ada sini. YB Kapar ingin mengetahui adakah mekanisme aduan kepada Majlis mudah diakses. Jawapannya ialah berhubung perkara ini Majlis Profesion Kerja Sosial akan menubuhkan Jawatankuasa Aduan bagi menerima dan menguruskan sebarang aduan yang diterima daripada klien dan orang awam berkaitan dengan sebarang isu kerja sosial.

YB Kepong ada sini ya? Kepong tak ada. Tak ada kita bagi bertulis ya. Dan di sini kita ada Ampang, ada ha. Ampang tadi mungkin ada di antara Yang Berhormat terkeliru mengenai perbezaan kerja sosial dengan kerja sukarela. Saya jawab untuk Dato’ apa nama Arau tadi juga tapi mungkin ini lebih detil ya.

Soalan yang sama. Kerja sukarela ialah tindakan ikhlas yang dilakukan oleh individu atau organisasi secara sukarela kerana mengambil berat terhadap kebajikan seseorang individu atau kumpulan. Sebab tu Arau tadi sebut nama-nama bangsa- bangsa lain.

Kerja ini adalah berasaskan agama, kepercayaan dan nilai-nilai murni untuk melakukan sesuatu yang baik dengan membantu dari segi tenaga, kewangan, kebendaan dan sokongan sosial yang diperlukan oleh masyarakat. Kerja sukarela merupakan suatu bentuk sokongan sosial yang amat diperlukan dan dihargai oleh semua lapisan masyarakat pada bila-bila masa.

Kerja penjagaan pula fokus kepada menjaga individu secara fizikal mengikut keperluan dan ketidakupayaan mereka dalam aspek penjagaan peribadi dan pengurusan harian seperti mandi, berpakaian, memberi makan dan pergerakan. Ia melibatkan sokongan secara langsung untuk memastikan kesejahteraan fizikal dan keselesaan individu yang dijaga.

Manakala kerja sosial melibatkan aktiviti-aktiviti yang dijalankan oleh seseorang yang bertujuan untuk memberikan respons kepada dan meningkatkan kesejahteraan dan kefungsian sosial bagi individu, kumpulan dan komuniti.

Kedua ialah dengan menggunakan kaedah-kaedah kerja, kes, kerja kumpulan dan kerja komuniti berpandukan himpunan pengetahuan, nilai dan prinsip, kod etika dan kemahiran kerja sosial.

Ketiga, kerja sosial merupakan tugas yang perlu mematuhi proses khusus dan kaedah tertentu bermula daripada proses penglibatan sehinggalah penamatan perkhidmatan kerja sosial.

Ini berbeza dengan kerja-kerja sukarelawan yang merupakan perbuatan berdasarkan niat untuk membantu orang lain secara ikhlas. Oleh itu pemakaian RUU PKS ini tidak meliputi atau menghalang kerja-kerja sukarela dan kerja penjagaan atau pun caregivers dengan izin.

Seterusnya, Kota Belud ada? Tak ada ha. Tadi ada soalan mengenai CPD ini. Saya rasa ini dia, menyoalnya tak ada di sini. Tumpat tak ada di dalam. Ampang lagi. Cadangan untuk merangka pelan tindakan induk kerja sosial negara.

Jawapannya ialah cadangan ini merupakan cadangan yang baik dan akan kita pertimbangkan oleh Majlis selepas akta ini diluluskan.

Seterusnya Beaufort ada sini? Okey, Beaufort, Yang Berhormat Beaufort ingin mengetahui adakah akta ini akan terpakai di Sabah dan Sarawak? RUU PKS digubal di bawah bidang kuasa Parlimen menurut fasal 1, fasal (1) Perkara 74 Perlembagaan Persekutuan. Dibaca bersama Butiran 17 Senarai Persekutuan, Jadual Kesembilan yang berhubungan dengan pekerjaan profesional selain yang disebut satu persatu secara khusus dan bukan di bawah senarai bersama RUU ini mengawal selia profesion bukan perkhidmatan kebajikan negeri.

Justeru, akta ini terpakai di seluruh Malaysia. Malaysia bermakna termasuklah Sabah, Sarawak apabila dikuatkuasakan. Malaysia tu menyeluruh ya.

Penyelarasan dengan kerajaan negeri dilaksanakan melalui rundingan serta sesi libat urus bersama kerajaan negeri dan Exco-exco negeri-negeri yang telah diadakan oleh KPWKM. Bagi tempoh pelaksanaan RUU ini membenarkan Menteri menetapkan tarikh kuat kuasa yang berlainan bagi peruntukan yang berlainan.

Seterusnya lagi Beaufort telah bertanya berapa ramai pekerja sosial swasta yang berpotensi dikawal selia di bawah akta ini? Berdasarkan statistik Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia sehingga Julai 2026, terdapat 54,585 NGO aktif yang berteraskan kebajikan dan sosial di Malaysia. Oleh itu, bilangan pekerja sosial di NGO Malaysia dijangkakan signifikan.

Namun begitu, pada masa ini kerajaan tiada data atau maklumat menyeluruh yang tepat berkenaan statistik individu pekerja sosial swasta seperti di mana mereka berada. Apa jenis perkhidmatan yang diberikan, apa kelayakan mereka dan sebagainya. Ini adalah salah satu sebab RUU PKS ini perlu digubal untuk mewajibkan pendaftaran pekerja sosial swasta ini agar data dan profiling mereka dapat dibangunkan oleh kerajaan.

Sebenarnya ramai yang bertanya tadi. YB Puchong tak ada di sini Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua. Putatan ada? Putatan pun tak ada. Sini lagi Ipoh Timur, Ipoh Timur banyak isu. Ipoh Timur lagi. Jadi Tuan Yang di-Pertua, saya rasa saya boleh berhenti di sini. Tapi namun begitu, saya perlu mengucapkan terima kasihlah kepada mereka. Terdapat beberapa soalan dan cadangan terperinci di bawah RUU PKS ini seperti caj dan fi, tahap kompetensi, kriteria kelayakan, tindakan tatatertib dan pengiktirafan pengalaman telah dikemukakan oleh Ahli-ahli Yang Berhormat semasa berbahas.

Untuk makluman Tuan Yang di-Pertua, isu-isu spesifik ini akan ditentukan melalui peraturan-peraturan dan garis panduan yang akan dibangunkan oleh Majlis.

Sebab itu kita pendekkan dengan menyatakan ini di bawah peraturan yang akan ditentukan oleh Majlis nanti.

draft • 7:10 PM

Dato’ Sri Hajah Nancy binti Shukri

Perkara ini lebih baik kerana keahlian Majlis adalah inklusif dan seimbang merangkumi representasi sektor awam, swasta dan NGO serta wakil negeri- negeri.

Jadi Tuan Yang di-Pertua, sebelum mengakhiri sesi penggulungan ini, izinkan saya sekali lagi merakamkan setulus- tulus penghargaan kepada semua Ahli Yang Berhormat atas segala pandangan dan cadangan yang telah dikemukakan semasa membahas RUU PKS ini.

Seperti yang saya nyatakan sebentar tadi bukan mudah untuk menghimpunkan semua penerangan oleh pelbagai pihak dalam satu RUU ini. Kami boleh memilih untuk menunggu sehingga semua pihak bersetuju 100 peratus, tetapi kalau tidak— it will be another ten year dengan izin, dan bagi pihak kementerian juga, kami juga mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada beberapa NGO, kementerian, agensi-agensi kerajaan.

Dan kita ingin merakamkan kepada semua pihak, wakil dan agensi daripada Kerajaan Persekutuan termasuk Pejabat Suruhanjaya Kanak-Kanak (SUHAKAM), dan kerajaan negeri juga penghargaan kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Wanita, Kanak-Kanak dan Pembangunan Masyarakat Parlimen Malaysia, ahli- ahli akademik serta badan-badan bukan kerajaan khususnya Malaysia Association of Social Worker ataupun MASW yang banyak memberi input pandangan dan sokongan terhadap penggubalan RUU PKS ini.

Apa yang kita tidak dapat masukkan pada hari ini juga tidak bermaksud pintunya telah tertutup, sebaliknya RUU ini menyediakan ruang untuk penambahbaikan secara berterusan melalui peraturan, garis panduan dan mekanisme yang akan dibangunkan oleh Majlis Profesion Kerja Sosial kelak. Lebih penting Tuan Yang di-Pertua, Majlis tersebut akan dianggotai oleh wakil-wakil dari pelbagai pihak yang berkaitan secara inklusif dan berdasarkan kepakaran.

Yang Berhormat sekalian, pada hari ini dan saat ini, kita mempunyai peluang untuk menamatkan sedekad penantian dan saya percaya tiada RUU yang sempurna.

Namun saya juga percaya bahawa RUU yang baik, yang mempunyai ruang untuk terus ditambah baik adalah jauh lebih bermanfaat daripada menunggu kesempurnaan yang mungkin tidak akan pernah tiba, jangan kita tangguhkan lagi.

Oleh itu sokongan semua Yang Berhormat pada hari ini bukan sekadar meluluskan satu RUU tetapi satu mesej kepada setiap pekerja sosial bahawa profesion mereka diiktiraf. Satu mesej kepada setiap individu yang memerlukan perlindungan bahawa negara tidak memandang sepi nasib mereka dan satu mesej bahawa apabila sesuatu pembaharuan benar-benar diperlukan oleh rakyat, Dewan Yang Mulia ini mempunyai iltizam untuk merealisasikannya.

Dengan itu Tuan Yang di-Pertua, saya mengakhiri sesi penggulungan dengan lafaz wabillahitaufiqwalhidayah, Assalamualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh. Terima kasih.

draft • 7:20 PM

Timbalan Yang di-Pertua - Dato' Dr Ramli bin Dato' Mohd Nor

Alhamdulillah. Ahli-Ahli Yang berhormat, sekarang saya kemukakan masalah kepada Majlis bagi diputuskan. Masalahnya ialah Rang Undang-Undang ini dibaca kali kedua sekarang.

[Masalah dikemukakan bagi diputuskan; dan disetujukan] [Rang undang-undang dibacakan kali yang kedua dan diserahkan kepada Dewan sebagai Jawatankuasa] [Majlis bersidang dalam Jawatankuasa] [Timbalan Yang di-Pertua (Dato' Dr Ramli bin Dato' Mohd Nor) **mempengerusikan Jawatankuasa****] [Fasal-fasal dikemukakan kepada Jawatankuasa]

draft • 7:20 PM

Fasal-Fasal 1 higga 36 – Datuk Che Mohamad Zulkifly bin Jusoh - Besut

[Bangun]

draft • 7:20 PM

Dato’ Seri Dr. Shahidan bin Kassim - Arau

[Bangun]

draft • 7:20 PM

Tuan Pengerusi - Dato' Dr Ramli bin Dato' Mohd Nor

Baik. Ada dua orang yang akan— seorang atau dua? Seorang?

draft • 7:20 PM

Datuk Che Mohamad Zulkifly bin Jusoh - Besut

Saya dahulu.

draft • 7:20 PM

Tuan Pengerusi - Dato' Dr Ramli bin Dato' Mohd Nor

Dua orang ya? Saya tengok Arau bangun. Baik Yang berhormat, saya ingin ingatkan perkara-perkara yang dibangkitkan di dalam peringkat Jawatankuasa hanyalah perkara spesifik. Perkara dasar tidak dibenarkan. Saya benarkan. Silakan.

draft • 7:20 PM

Datuk Che Mohamad Zulkifly bin Jusoh - Besut

Yang pertama, saya merujuk kepada fasal 5 mengenai dengan kuasa Majlis. Mengenakan fi atau apa- apa cas lain sebagaimana yang difikirkan patut bagi pelaksanaan fungsinya.

Maknanya kenapa tidak ditetapkan terus? Sebab dia nak menjalankan fungsinya dalam kes benda yang sama lah.

Keduanya, fasal 10 dan 11. Kuasa pembatalan. Menteri boleh membatalkan pelantikan seseorang anggota Majlis yang dilantik di bawah perenggan ketiga dan

(2)(c) hingga (g) tanpa memberi apa-apa sebab. Makna kata menteri tidak suka dengan seseorang itu, terus boleh buang ya? ke macam mana? Itu maksud saya, makna nak kata zalim tidak zalim lah, tetapi kalau diteruskan memang agak zalim lah.

Kemudian satu lagi (b)— 10(b), 11(b) jika telah dibuktikan terhadapnya atau dia telah disabitkan atas suatu pertuduhan berkenaan dengan ganti suatu denda, yang ketiga, maknanya dia kena kosong. Padahal kalau kira ganti suatu denda, kalau dia bayar denda macam mana? Maknanya dia tidak disabit, itu yang maksud saya.

Dan seterusnya, 19, 20 dan 21. Kita tengok, kalau ikut perakuan amalan.

Perakuan yang 19 tu, dia ada syarat-syarat dia, sarjana muda, dengan seorang pekerja sosial berdaftar di suatu negara asing tetapi dalam 20 amalan sementara ini tidak ada, bukan warganegara pula itu. Kenapa perlu ada bukan warganegara, yang perakuan itu kena warganegara? Dan yang ketiga juga pun tidak, kena tentukan warganegara Malaysia. Tetapi yang 20 itu perakuan amalan sementara itu bukan warganegara Malaysia. Itu maksud saya kenapa ada berbezaan antara tiga itu?

Interim, sementara dan juga perakaunan amalan. Kenapa tiga tu ada perbezaan dari segi— Seterusnya— satu lagi. Pembaharuan, dari segi pembaharuan kalau tengok perakuan amalan itu, dia sah dua tahun, tetapi tidak ada kalau nak pembaharuan macam mana? Tidak ada tempoh berapa lama, setahun ke apa? Sebab dalam 20 itu ada sebut. Disebut hanya satu tahun selepas itu, maknanya satu tahun plus satu tahun. Satu tahun sahaja, maknanya dua tahun. Tetapi perakuan amalan tidak ada sebut, hanya dua tahun pertama sahaja. Kedua, tidak sebut berapa lama.

Dan seterusnya dari segi, siapa yang hendak disebut ini? Untuk melantik, dia hendak melantik mana-mana orang untuk adakan jawatankuasa ini. Fasal 21 dengan fasal 14, bertujuan untuk memberi kuasa kepada Majlis untuk menubuhkan apa- apa jawatankuasa.

14(8)— kalau kita tengok 14(8), maknanya jawatankuasa boleh mengundang mana-mana orang untuk menghadiri mana-mana mesyuarat. Mesyuarat sudah dianggotai oleh Ahli-ahli Majlis, tetapi hendak mengundang daripada mana-mana orang. Siapa yang mana-mana orang itu?

Bagi tujuan menasihati. Dia tak ada pengalaman pun. Tidak ada sebut pengalaman. Sebab, ahli jawatankuasa, disebut kena lantik orang yang berpengalaman. Ini yang saya pelik sikit ini.

draft • 7:24 PM

Datuk Che Mohamad Zulkifly bin Jusoh - Besut

Yang akhirnya, fasal 34. Fasal 34 ini ada perkataan yang “Tiada tindakan, guaman, pendakwaan atau prosiding” kalau boleh dibuktikan bahawa dia tidak berniat jahat. Kalau ditengok dalam Akta Penjara tempoh hari, disebut suci hati. Saya rasa Puan— perkataan yang sama, benda ini ada. Macam mana? Perlu dirujuk kepada jawatankuasa ataupun tidak? Sebab, bawah Akta Penjara dirujuk ke jawatankuasa dan di-delete terus. Terus tidak ada sebab ada perkataan tidak boleh dituduh atau guaman sebagaimana kerana ada suci hati. Itu maksud saya.

Terima kasih.

draft • 7:30 PM

Tuan Pengerusi - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor

Silakan, Menteri.

draft • 7:30 PM

Dato’ Seri Dr. Shahidan bin Kassim - Arau

Ya.

draft • 7:30 PM

Dato’ Sri Hajah Nancy binti Shukri

Terima kasih, Yang di-Pertua.

draft • 7:30 PM

Tuan Pengerusi - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor

Yang Berhormat.

draft • 7:30 PM

Dato’ Sri Hajah Nancy binti Shukri

Terima kasih, Yang Berhormat.

draft • 7:30 PM

Tuan Pengerusi - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor

Sebentar.

draft • 7:30 PM

Dato’ Sri Hajah Nancy binti Shukri

Boleh saya jawab itu dulu?

draft • 7:30 PM

Tuan Pengerusi - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor

Sebentar.

draft • 7:30 PM

Dato’ Sri Hajah Nancy binti Shukri

Terlalu banyak. Takut mengelirukan nanti.

draft • 7:30 PM

Tuan Pengerusi - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor

Yang Berhormat Menteri, sebentar.

draft • 7:30 PM

Dato’ Sri Hajah Nancy binti Shukri

Yang Berhormat Arau, minta saya...

draft • 7:30 PM

Tuan Pengerusi - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor

Sebentar.

Sebentar, Yang Berhormat Menteri.

draft • 7:30 PM

Dato’ Sri Hajah Nancy binti Shukri

Ya.

draft • 7:30 PM

Tuan Pengerusi - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor

Yang Berhormat Arau pun nak bahas jawatankuasa? Okey, teruskan.

draft • 7:30 PM

Dato’ Seri Dr. Shahidan bin Kassim - Arau

Yang Berhormat Menteri, yang pertama ialah tentang kuasa Menteri. Yang Berhormat tengok kuasa Menteri melantik 10 orang, melantik wakil Sabah dan Sarawak, melantik pihak swasta.

Perkataan “Kuasa Menteri” ini, kita nak Majlis Profesion, sukarelawan-sukarelawan ini, dia bertaraf macam Majlis Peguam. Dia mesti― perkara tersebut. Kalau kita sebut perkataan lantikan oleh Menteri semua ini, dia menunjukkan seolah-olahnya kerajaan. Kerajaan yang menguasai.

Kita nak dia bebas sedikit supaya perkataan lantikan Menteri itu, contohnya dibuat oleh select committee Parliament dan sebagainya. Jadi, ada kekuatan kepada Majlis ini. Dia ini kata, “Ah, ini Majlis kerajaan saja sebab semua dilantik oleh Menteri”. Padahal kalau kita kata Majlis daripada, contohnya select committee daripada Parlimen, Menteri juga. Tapi, sekurang-kurangnya ada nampak kebebasan, kehebatan, gah dia.

Jadi, perkataan “Kuasa Menteri” itu dicadangkan― nak pinda, tak sempat, Yang Berhormat, sebab kita dalam keadaan sekarang ini kalau ikut prosedurnya, kita kena pinda dan menghantar nota dan sebagainya. Tapi, kita nak mencadangkan perkataan “Kuasa Menteri” itu boleh difikirkan supaya dia jadi gah dan hebat supaya Majlis ini setaraf dengan Majlis-majlis yang hebat yang lain.

Yang keduanya, Yang Berhormat, berhubung dengan pelantikan ini, disebut di bawah perkara 3(2)(f) dan juga (g), tidak lebih daripada 10 orang daripada sektor awam dan tidak lebih daripada 10 orang― saya mohon supaya perkataan “Tidak lebih” itu “Sekurang-kurangnya”. Kita kena ingat, Majlis Hal Ehwal Agama Islam pun dah dekat 50 orang. Jadi, takkan kita nak hadkan kepada 20 orang. Kita sebut perkataan “Sekurang-kurangnya 10 orang”. Bukan “Tidak lebih”. Jadi, kalau kita hadkan, kita rugi sebab mungkin banyak daripada orang-orang yang akan beri sumbangan nanti dalam pasaran― Sebab, kita sekarang ini, satu bersamaan dengan 8,000 lebih rakyat Malaysia. Kalau dibandingkan dengan negara lain, bawah 1,000, kecuali mungkin Singapore― 3,000. Tapi kalau kita nak tingkatkan ke angka tersebut, sudah pasti kita memerlukan lebih ahli Majlis. Jadi, saya cadangkan supaya perkataan “Tidak lebih” digantikan dengan “Sekurang-kurang”.

Kemudian, perkara 9, Yang Berhormat. Yang ini memang saya hafal betul.

Iaitu tentang Setiausaha Majlis. Tidak disebut ya. Setiausaha Majlis tidak disebut siapa. Hanya disebut seorang pegawai kementerian.

Yang Berhormat, dia akan mengetuai satu pasukan yang besar ya. Kalau mengetuai satu pasukan yang besar, dia mesti ada askarnya di belakang. Mesti ada satu jabatan yang mempunyai kekuatan staf yang luar biasa. Kalau kementerian, dia hanya jadi pegawai biasa, kemudian dia lakukan pendaftaran, hanya pendaftaran, dia tak boleh buat lebih daripada itu. Sebab dia bukan ada kekuatan support staff yang hebat.

Saya cadangkan supaya Jabatan Kebajikan Masyarakat dijadikan sebagai setiausaha. Dia sekarang ini Timbalan Pengerusi ialah KP Kebajikan Masyarakat.

draft • 7:31 PM

Puan Hajah Rodziah binti Ismail - Ampang

[Bangun]

draft • 7:31 PM

Dato’ Seri Dr. Shahidan bin Kassim - Arau

Tapi, Setiausaha juga mesti diambil daripada jabatan yang berkenaan untuk memboleh dia dapat sokongan.

Kerana bila pendaftaran besar nanti, sudah pasti dia bukan kerja setiausaha hanya setakat mendaftar tapi dia kena laksanakan beberapa penguatkuasaan yang perlu dibuat dari masa ke semasa.

Itu yang saya cadangkan supaya diberi perhatian. Nak buat pindaan tak sempat, tapi itu perkara-perkara yang saya rasa Menteri patut lihat di bawah jawatankuasa. Terima kasih, Speaker.

draft • 7:31 PM

Puan Hajah Rodziah binti Ismail - Ampang

Yang Berhormat Dato’.

draft • 7:31 PM

Tuan Pengerusi - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor

Silakan, Yang Berhormat.

draft • 7:31 PM

Dato’ Seri Dr. Shahidan bin Kassim - Arau

Terima kasih, Pengerusi.

Pengerusi.

draft • 7:31 PM

Tuan Pengerusi - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor

Silakan.

draft • 7:31 PM

Puan Hajah Rodziah binti Ismail - Ampang

Terima kasih. Saya ambil sedikit masa sebab ada perkara yang ingin saya bangkitkan.

Pertama tentang penubuhan Majlis. Saya rasa perkara 3(2)(g) elok kalau tidak lebih daripada 10 orang yang mempunyai pengalaman ini, saya cadangkan supaya― because mereka ini datang daripada di kalangan kerja sosial. Apa kata kalau ditiadakan dilantik oleh Menteri, biarlah ia nya dipilih di kalangan mereka yang dinamakan oleh mereka. Itu pertama.

Yang keduanya, tentang rayuan. Fasal rayuan. Saya rasa perkara (2) yang ditulis di sini, “Menteri boleh, selepas menimbangkan rayuan yang dibuat di bawah subseksyen (1), mengesahkan, membatalkan atau mengubah keputusan yang dirayukan”. Saya rasa it defeat the purpose, Dato’ Yang di-Pertua.

Jika telah ada satu jawatankuasa tatatertib yang telah memutuskan, saya mencadangkan rayuan itu tidak dikemukakan kepada Menteri tetapi biar satu jawatankuasa rayuan yang memutuskan. Kerana, tempohnya agak pendek, 21 hari di sini untuk buat keputusan. Jadi, saya mencadangkan perkara itu tidak diberi mandat kepada Menteri tetapi kepada jawatankuasa rayuan untuk menimbangkan.

Oleh itu, kena ada penubuhan jawatankuasa rayuan di situ.

Dan yang terakhir, saya menyokong apa yang disebut oleh Besut iaitu perkara 34. Saya mencadangkan ia nya diselaraskan kesemua rang udang-undang yang dah terlepas dengan yang akan datang juga iaitu perkara 34 ini sepatutnya ditiadakan. Itu telah diputuskan oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Hak Asasi dan institusi reform iaitu sepatutnya tiada orang yang above the law.

Dato’ Pengerusi, terima kasih.

draft • 7:35 PM

Tuan Pengerusi - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor

Yang Berhormat Ampang, lain kali dalam jawatankuasa, panggil Pengerusi ya. Itu dalam Peraturan, buku Peraturan. Baik.

Menteri, sila jawab.

draft • 7:35 PM

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat - Dato’ Sri Hajah Nancy binti Shukri

Terima kasih, Tuan Pengerusi. Tadi Besut menyebut mengenai perkara 5 tadi ya, mengenai caj dan fi. Sebenarnya sebelum itu saya sudah menyebutkan, ini akan ditentukan oleh Majlis Profesion nanti. Jadi, ini memang sudah kita jawab waktu awal tadi. Besut tak ada dekat dalam.

Lepas itu, ingin dinyatakan di sini, keperluan ini adalah untuk fleksibiliti untuk sebarang perubahan di masa hadapan agar kekal relevan dengan keadaan semasa.

Boleh dibuat oleh Majlis tanpa perlu dibawa ke Parlimen untuk dipinda. Itu untuk Majlis. Saya tak ada dalam Majlis. Menteri tak ada dalam Majlis ya.

Jadi, oleh kerana Majlis Profesion ini mereka adalah di bawah— sekejap ya, saya ambil. Oleh kerana anggota Majlis bertanggungjawab terhadap Menteri, Menteri boleh memberi arahan dan Majlis perlu melaksanakan arahan tersebut.

Namun, kuasa Menteri juga untuk memberi arahan hendaklah berhubung dengan pelaksanaan fungsi dan kuasa Majlis. Justeru itu, mengikut had yang ditetapkan oleh undang-undang juga.

Tadi juga menyentuh mengenai ahli-ahli tadi. Kedua-dualah. Arau pun ada bertanya tadi. Dia sebenarnya bukanlah kita pick and choose sahaja. Sebenarnya kita berhubung dengan kerajaan negeri, Exco juga. Setiap negeri perlu ada perwakilannya. Juga NGO. Jadi, sebab itu di sini adalah― sekejap ya. Jumlah ahli Majlis yang terlalu ramai akan menyukarkan pentadbiran mesyuarat. Malah, cadangan mengehadkan jumlah yang optimum ini juga telah dipersetujui oleh Jawatankuasa Pilihan Kanak-kanak, Wanita dan Keluarga untuk mempertingkatkan efficiency. Ini yang dipersetujui bersama dengan jawatankuasa.

Dari segi warganegara tadi, perakuan amalan sementara ini adalah untuk bukan warganegara yang ingin beramal di Malaysia. Tempoh ini hanya maksimum dua tahun. Bagi memberi keutamaan kepada rakyat Malaysia menikmati peluang pekerjaan. Dia sebenarnya kita membuka ruang ini sekiranya ada kepakaran yang lain daripada yang ada di sini.

draft • 7:37 PM

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat - Dato’ Sri Hajah Nancy binti Shukri

Jadi, kita boleh mengemukakan peluang ini kepada bukan warganegara. Dan sementara itu, perakuan amalan interim adalah untuk warganegara yang mempunyai kelayakan akademik tetapi masih belum mempunyai cukup pengalaman seperti yang ditetapkan oleh Majlis. Ini akan memberi ruang untuk mereka ini memperoleh perakuan amalan penuh di masa hadapan.

Tadi ada soalan daripada Wangsa Maju, apakah kita punya perancangan masa hadapan. Jadi, ada di antara mereka mempunyai pengalaman dan juga qualification, dengan izin, tapi ada juga tidak mempunyai qualification tetapi berpengalaman bekerja secara macam pegawai JKM kita dan kita akan beri ruang ini untuk mereka mempertingkatkan efficiency mereka.

Malah, kita sudah bermula untuk proses ini. Mereka pergi ke ISM untuk meningkatkan kemahiran mereka. Jadi, ini bukan sekadar perancangan saja, malah sudah dalam proses. Sudah— mereka sudah menghadiri program itu.

Dan berkenaan dengan fasal 34 oleh Yang Berhormat Ampang tadi, peruntukan ini adalah penting untuk menjamin perlindungan kepada penjawat awam untuk melaksanakan tugasan without fear and favor, dengan izin, ya. Peruntukan ini sering diguna pakai dalam akta-akta yang melibatkan pelaksanaan tugas penjawat awam.

Dan ada juga di kalangan soalan-soalan tadi yang mungkin tak ada di sini tetapi sebab itu saya katakan ia nya berada di dalam— apabila ini sudah kita luluskan, maka majlis profesion akan menentukan. Majlis profesion ini akan diberi kuasa melalui perundangan yang baru. Sebenarnya, RUU inilah satu langkah pertama untuk profesion kerja sosial berkembang dan menjadi sama besarnya seperti profesion lain seperti guaman yang disebut oleh Yang Berhormat Arau tadi.

Insya-Allah, apabila industri dan profesion kerja sosial ini berkembang di Malaysia sepertimana di negara-negara lain yang di tanda aras seperti Australia dan United Kingdom, majlis boleh mengusulkan kepada kerajaan untuk meminda akta ini di masa hadapan. Ini adalah peringkat permulaannya, Yang Berhormat Tuan Pengerusi. Terima kasih.

draft • 7:40 PM

Timbalan Yang di-Pertua - Dato' Dr. Ramli bin Dato' Mohd Nor

Terima kasih Yang Berhormat Menteri.

[Fasal-fasal 1 hingga 36 diperintahkan jadi sebahagian daripada rang undang-undang] [Rang undang-undang dimaklumkan kepada Majlis sekarang] [Masalah dikemukakan bagi diputuskan; dan disetujukan] [Majlis Mesyuarat bersidang semula] [Timbalan Yang di-Pertua (Dato' Dr. Ramli bin Dato' Mohd Nor) mempengerusikan Mesyuarat] [Rang undang-undang dilaporkan dengan tidak ada pindaan; dibacakan kali yang ketiga, disokong oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (Puan Lim Hui Ying) dan diluluskan]

draft • 7:40 PM

Timbalan Yang di-Pertua - Dato' Dr. Ramli bin Dato' Mohd Nor

Alhamdulillah, syukur. Ahli-ahli Yang Berhormat, Mesyuarat Dewan hari ini ditangguh sehingga 10 pagi, hari Rabu, 15 Julai 2026.

draft • 7:40 PM

[Dewan ditangguhkan pada pukul 7.44 malam]

Hak Cipta Terpelihara © 2026