Katalog Hansard
[Timbalan Yang di-Pertua (Dato' Dr. Ramli bin Dato' Mohd Nor) **mempengerusikan Mesyuarat****]
Timbalan Yang di-Pertua - Dato' Dr. Ramli bin Dato' Mohd Nor
[Membaca sepotong doa] Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum dan selamat pagi Yang Berhormat-Yang Berhormat. Kita mula sesi bagi Dewan ini dengan Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri. Dengan ini dipersilakan Tuan Tan Kar Hing, Yang Berhormat Gopeng.
1. Tuan Tan Kar Hing [Gopeng]: Terima kasih kepada Dato’ Speaker. Gopeng minta Menteri Kerja Raya menyatakan rancangan naik taraf jalan dari simpang tol Simpang Pulai ke pekan Gopeng termasuk skop cadangan spesifikasi keperluan, peruntukan dirancang serta jangka masa pelaksanaan dalam perancangan pembangunan jalan tersebut. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato' Dr. Ramli bin Dato' Mohd Nor
Silakan Menteri Kerja Raya untuk menjawab.
Menteri Kerja Raya - Dato Sri Alexander Nanta Linggi
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, terima kasih Yang Berhormat Gopeng.
Dato' Yang di-Pertua, untuk makluman Ahli Yang Berhormat Gopeng, jalan yang dimaksudkan adalah FT1, Jalan Ipoh ke Tanjong Malim. Kementerian Kerja Raya sedia maklum atas keperluan cadangan menaik taraf jalan tersebut seperti yang dibangkitkan oleh Ahli Yang Berhormat. Kementerian ini telah mengangkat permohonan projek ini di laluan tersebut di Parlimen Gopeng pada Rolling Plan Kedua Rancangan Malaysia Ketiga Belas untuk kelulusan agensi pusat seperti berikut.
Satu, kerja awalan projek menaik taraf Laluan Persekutuan 1 ataupun FT001 dari seksyen 577 hingga seksyen 584 Daerah Kinta dan Kampar, Perak Darul Ridzuan, reka bentuk dan pengambilan tanah dengan anggaran kos keseluruhan sebanyak RM45.21 juta. Dan kerja awalan projek pembinaan baharu persimpangan bertingkat FT001 dari seksyen 584 hingga seksyen 585.4 Daerah Kinta, Perak Darul Ridzuan, reka bentuk dan pengambilan tanah dengan kos anggaran kos keseluruhan sebanyak RM24.84 juta.
Skop kerja awalan yang dimohon oleh kementerian ini bagi kedua-kedua projek ini melibatkan pelaksanaan kerja-kerja penyiasatan tapak, kerja ukur, pemetaan utiliti, perunding, pengambilan balik tanah, pelaksanaan makmal, kejuruteraan menilai, makmal pengurusan nilai serta pelan pengurusan risiko.
Walau bagaimanapun, keputusan bagi permohonan cadangan projek tersebut akan diketahui selepas pembentangan bajet kerajaan tahun 2027 yang akan datang. Jadi, Kementerian Kerja Raya sentiasa mengambil berat keperluan pembangunan infrastruktur di negara ini, khususnya dalam memastikan jaringan jalan raya yang selamat, selesa dan berdaya tahan dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat. Sekian, terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato' Dr. Ramli bin Dato' Mohd Nor
Yang Berhormat Gopeng, soalan tambahan.
Tuan Tan Kar Hing - Gopeng
Terima kasih kepada Dato’ Speaker, terima kasih kepada Menteri atas jawapan tersebut. Saya harap ya lah, pada penghujung tahun ini bajet ini dapat diluluskan oleh MoF ataupun Kementerian Ekonomi.
Cuma saya hendak tanyakan satu soalan tambahan yang berkaitan, sebab jalan ini adalah jalan yang agak high traffic. Salah satu sebab adalah tentang Exit Toll 137. Saya ingin bertanya kepada YB Menteri, apakah pihak KKR akan bekerjasama dengan Lembaga Lebuhraya Malaysia bagi mengkaji semula kesesuaian tapak dan saiz Tol Simpang Pulai dan laluannya?
Ini adalah kerana laluan trafik ini semakin meningkat dan ia nya adalah jalan protokol— salah satu pintu masuk ke Ipoh dan ke Cameron Highlands, tempat Yang Berhormat Dato’ Speaker, terutamanya menjelang hujung minggu dan musim-musim perayaan. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato' Dr. Ramli bin Dato' Mohd Nor
Silakan Menteri untuk menjawab.
Dato Sri Alexander Nanta Linggi
Baik Dato' Yang di-Pertua. Untuk makluman Ahli-ahli Yang Berhormat...
Seorang Ahli
Gopeng, sekali lagi ya.
Dato Sri Alexander Nanta Linggi
...Plaza Tol Simpang Pulai, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) mempunyai lapan lorong. Pembayaran tol di mana tiga lorong disediakan di plaza tol masuk dan lima lorong di plaza tol keluar. Jadi, tiga lorong di plaza tol masuk adalah terdiri daripada dua lorong multiclass Touch ‘n Go dan satu lorong hibrid RFID ya dan Touch ‘n Go juga.
Dato Sri Alexander Nanta Linggi
Manakala bagi di plaza tol keluar, itu lima lorong terdiri daripada dua lorong multiclass Touch ‘n Go dan masing-masing satu lorong bagi dedicated Touch ‘n Go, RFID dan SmartTAG. Jadi, pihak syarikat konsesi juga turut menyediakan petugas ya bagi membantu pengguna membayar tol dengan menyediakan— dengan menggunakan alat bantuan mudah alih ya semasa waktu puncak dan musim perayaan.
Jadi, purata trafik harian adalah sebanyak 13,864 trafik berbanding 15,251 trafik pada hari hujung minggu.
Tuan Nurul Amin bin Hamid - Padang Terap
[Bangun]
Dato Sri Alexander Nanta Linggi
Manakala trafik keluar di Plaza Tol Simpang Pulai mencatatkan purata sebanyak 13,051 trafik pada hari biasa, berbanding 13,767 trafik pada hari hujung minggu. Jadi, rekod ini semasa musim perayaan dan cuti hari buruh yang lalu menunjukkan purata trafik harian yang memasuki Plaza Tol Simpang Pulai adalah dalam lingkungan sebanyak 14,904 ke 16,656 trafik dan trafik keluar dalam lingkungan 12,900 lebih lah ke 14,564 trafik ya.
Ini maklumat kita ada.
Jadi berdasarkan kepada garis panduan pengurusan operasi plaza tol, analisis kapasiti trafik di Plaza Tol Simpang Pulai menunjukkan ia beroperasi pada tahap perkhidmatan A masih dalam tahap level of service A ya. Iaitu kapasiti plaza tol sedia ada masih beroperasi dalam had kapasiti yang ditetapkan. Jadi, okey— walau bagaimanapun, Plaza Tol Simpang Pulai merekodkan peningkatan isi padu trafik pada hujung minggu dan musim perayaan ia masih mampu menampung permintaan trafik semasa di lokasi— di lokasi berkenaan.
Jadi, kesesakan yang berlaku semasa musim perayaan adalah disebabkan oleh limpahan trafik atau pun traffic spillback ya daripada rangkaian Jalan Persekutuan di bawah seliaan Jabatan Kerja Raya (JKR) di luar kawasan plaza tol yang mengalami kapasiti trafik yang terhad. Jadi, sebagai langkah jangka masa pendek, Cawangan Kejuruteraan Elektrik (CKE) JKR Perak telah melaksanakan pemasangan smart traffic light ya— smart traffic light di beberapa persimpangan dikenal pasti sebagai lokasi berkepadatan trafik tinggi, termasuklah di kawasan yang dibangkitkan ini.
Jadi sistem ini menggunakan teknologi pintar bagi mengoptimumkan masa lampu isyarat berdasarkan keadaan trafik semasa dan sekali gus membantu melancarkan aliran trafik, mengurangkan kesesakan serta meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya.
Jadi Tuan Yang di-Pertua, walau bagaimanapun Lembaga Lebuhraya Malaysia bersama syarikat konsesi akan terus melaksanakan pemantauan terhadap prestasi operasi trafik melalui analisis isi padu trafik kapasiti, nisbah isi padu kepada kapasiti (volume to capacity ratio) ataupun LOS serta tempoh operasi transaksi di plaza tol.
Jadi sekiranya penilaian tersebut menunjukkan prestasi operasi menghampiri had kapasiti, akan berlaku kemerosotan tahap perkhidmatan. Kajian lanjut akan dilaksanakan bagi mengenal pasti keperluan pelaksanaan langkah-langkah penambahbaikan yang bersesuaian. Jadi, sekian terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Terima kasih Yang Berhormat Menteri. Dipersilakan Yang Berhormat Padang Terap.
Tuan Nurul Amin bin Hamid - Padang Terap
Terima kasih Dato’ Yang di- Pertua. Yang Berhormat Timbalan Menteri, saya nak sentuh tentang permohonan projek naik taraf jalan ini. Kalau ikut justifikasi, keperluan pertimbangan pihak kementerian ialah mengikut justifikasi keperluan dan permohonan naik taraf jalan projek Persekutuan ini melalui beberapa proses. Antaranya pihak kementerian akan memberikan keutamaan kepada senarai utama negeri.
Soalan saya, kalau permohonan projek naik taraf ini tidak masuk dalam senarai keutamaan negeri tetapi mempunyai justifikasi keperluan yang sangat kritikal dan mendesak. Saya bagi contoh Kedah Rubber City. Kilang Prinx Tire Malaysia di Padang Terap yang sekarang ni dalam proses pembinaan, projek di bawah Kementerian Ekonomi bulan Oktober ni siap. Tapi permohonan naik taraf jalan daripada Sungai Durian, Pokok Sena ke Kedah Rubber City ini dimohon lebih lima tahun. Tak lulus sebab bukan keutamaan negeri tetapi projek itu sedang berjalan dan pihak kilang memaklumkan 1,600 trip lori sebulan yang akan lalu daripada Kedah Rubber City ke pekan Pokok Sena, pekan Kuala Nerang yang akan mengakibatkan traffic jammed. Jadi kah— adakah di sana pihak kementerian ada fast track? Sekurang- kurangnya ada kos awalan diluluskan untuk kerja pengambilan tanah, kajian dan sebagainya kerana justifikasi keperluan ini sangat mendesak, khususnya di Kilang Prinx Tire Malaysia, Padang Terap. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Silakan Menteri.
Dato Sri Alexander Nanta Linggi
Dato’ Yang di-Pertua, terima kasih Yang Berhormat Padang Terap. Untuk yang di apa kata— dirujuk secara spesifik ya oleh Yang Berhormat tadi, kami akan buat kajian. Nanti akan maklum kepada Yang Berhormat apa terkini ya berkaitan dengan status permohonan itu kalau ada secara bertulis.
Tapi memang betul Yang Amat Berhormat— Yang Berhormat, mungkin nanti mana tahu jadi Yang Amat Berhormat. Yang Berhormat, kita mengikut apa tatakelola kitalah, cara sebab bila di peringkat kerajaan peringkat pusat ini berurus dengan negeri sebab negeri kita memang mengikut keutamaan negeri ya.
Jadi, saya pun kurang faham kalau sepertimana yang dikatakan oleh Yang Berhormat tadi di situ agak terdesak keperluannya mengapa negeri tak angkat sebagai keutamaan. Tapi tak apa, kita akan semak. Mungkin ada untuk kerja awalan ya.
Kami di JKR hanya menerima arahan daripada Kementerian Ekonomi, kementerian— arahan mana-mana projek yang diluluskan oleh kementerian itu untuk kami laksanakan, begitu dia. Jadi— tapi kami juga sebab kita ini JKR, Kementerian Kerja Raya memang seingat apa— konsesi kita memang berkenaan dengan jalanlah, rangkaian jalan.
Memang kita juga apabila menerima makluman ataupun permohonan ataupun maklum balas daripada awam termasuk Ahli Yang Berhormat, kami juga dalam perbincangan dalam mesyuarat boleh juga mengesyorkan ya.
Cuma akhirnya masih juga keperluan di peringkat apa, keutamaan negeri.
Tapi nanti saya semak. Mungkin ada— saya tak ada maklumat di sini. Mungkin ada sudah ada kerja awalan dulu, kerja awalan tu tak banyak. Kalau diluluskan kerja [Tidak jelas] itu menelan belanja yang banyak yang belum diluluskan. Boleh Yang Amat Berhormat, thank you. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Terima kasih Yang Berhormat Menteri. Majlis ke soalan yang kedua. Dengan ini dipersilakan Dato' Wira Dr. Ku Abd Rahman bin Ku Ismail, Yang Berhormat Kubang Pasu.
2. Dato' Wira Dr. Ku Abd Rahman bin Ku Ismail [Kubang Pasu]: Terima kasih Dato’ Yang di-Pertua. Minta Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi menyatakan status pelaksanaan inisiatif Pembungkusan Termaju (Advanced Packaging) di bawah Malaysia Science Endownment (MSE) dan peranan Malaysia Advanced Packaging Consortium (MAPC) dalam memperkukuh ekosistem industri semikonduktor negara bagi membangunkan teknologi daya saing Malaysia dalam rantaian nilai global. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Dipersilakan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi untuk menjawab.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi - Datuk Chang Lih Kang
Terima kasih Tuan Speaker. Terima kasih Kubang Pasu atas soalan ini. Untuk makluman Yang Berhormat, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melalui Akademi Sains Malaysia (ASM) telah memulakan Program Penyelidikan, Pembangunan Inovasi, Pengkomersialan dan Ekonomi (RDICE) berasaskan misi.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi - Datuk Chang Lih Kang
Dan pembungkusan termaju ataupun advance packaging adalah dibiayai melalui MSE untuk mencapai sasaran tujuh peratus pasaran pembungkusan termaju global serta membina kapasiti Malaysia dalam teknologi pembungkusan termaju dengan membangunkan teknologi kepakaran dan sumber tempatan yang dapat memberikan pulangan yang tinggi.
Lima syarikat semi konduktor tempatan iaitu SkyeChip Berhad, Inari Technology Sdn Bhd, FusionAP Sdn.Bhd, Pentamaster Instrumentation Sdn Bhd dan NSW Automation Sdn Bhd kini telah membentuk satu konsortium iaitu MAPC
(Malaysia Advanced Packaging Consortium) yang berfungsi seperti syarikat multinasional bagi pelaksanaan program RDICE Bersepadu sejak Mac 2026, yang melibatkan lima sub projek dan penglibatan kumpulan penyelidik daripada institusi pengajian tinggi tempatan bagi penghasilan cip pembungkusan termaju High Bandwidth Memory 4 (HBM4) pertama Malaysia.
Projek bernilai RM185 juta ini melibatkan padanan dana iaitu RM93 juta dari syarikat yang terlibat dan RM92 juta dari MSE. Melalui pelaksanaan konsortium MAPC ini Malaysia berupaya membangunkan rangkaian bekalan tempatan yang lebih menyeluruh dan berdaya saing dalam bidang pembungkusan termaju.
Yang kedua, meningkatkan kesiapsiagaan teknologi tempatan sehingga mencapai tahap yang mampu menarik pelaburan model teroka dan kerjasama strategik antarabangsa.
Ketiga, menarik lebih banyak pelaburan langsung asing (FDI) dalam segmen semikonduktor bernilai tinggi dan— Keempat, mempercepatkan pembangunan bakat tempatan berkemahiran tinggi bagi memenuhi keperluan industri semi konduktor industri semi konduktor generasi baru.
Tuan Speaker, industri semikonduktor merupakan antara sektor strategik yang menjadi tunjang kepada ekonomi Malaysia dan dalam landskap global yang semakin kompetitif, negara tidak boleh hanya bergantung kepada kekuatan dalam aktiviti pemasangan dan ujian semikonduktor sebaliknya perlu meningkatkan penguasaan dalam segmen teknologi bernilai tinggi seperti reka bentuk cip, pembungkusan termaju dan pembangunan harta intelek.
Sehubungan itu, program pembungkusan termaju di mana MSE merupakan pelaburan strategik kerajaan untuk membangunkan keupayaan teknologi tempatan dalam segmen semikonduktor generasi baru yang menjadi pemacu utama kepada aplikasi AI, pusat data pengkomputeran berprestasi tinggi (high performance computing) automotif pintar, 5G dan teknologi kuantum.
Melalui pendekatan ini, Malaysia bukan sahaja berupaya meningkatkan penguasaan dalam rantaian nilai global, malah beralih daripada sebuah negara yang tertumpu kepada aktiviti pembuatan kepada sebuah negara yang turut membangunkan teknologi inovasi dan harta intelek sendiri.
Kita yakin, kerajaan yakin bahawa pelaksanaan MAPC di bawah MSE ini bukan sekadar menghasilkan teknologi pembungkusan termaju pertama Malaysia, malah menjadi pemangkin kepada transformasi industri semikonduktor negara ke arah aktiviti bernilai tambah tinggi. Sekian, terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Soalan tambahan, Yang Berhormat Kubang Pasu.
Dato' Wira Dr. Ku Abd Rahman bin Ku Ismail - Kubang Pasu
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Inisiatif membangunkan teknologi pembungkusan termaju ataupun advanced packaging (AP) adalah satu langkah baik dan bijak.
Tahniah saya ucapkan. Advanced packaging adalah sebahagian daripada elemen penting bagi memajukan national semiconductor (national semiconductor strategy).
Keperluan kepada advanced packaging FusionAP adalah disebabkan perubahan atau shift struktur dalam industri semikonduktor di mana kelebihan prestasi adalah digerakkan oleh bagaimana chips disintegrated dan bukan lagi size transistor. Chips semakin kecil dan halus, lebih-lebih lagi untuk penggunaan AI.
Buat masa ini, kapasiti pasaran AP hanya terdapat di beberapa buah negara seperti di Taiwan, Korea Selatan, Amerika Syarikat.
MAPC atau Malaysia Advanced Packaging Consortium yang ditubuhkan pada November 2025, menggabungkan pemain-pemain industri bagi menyelaraskan usaha pembangunan, memberikan keutamaan kepada R&D dan memperkukuhkan ekosistem kolaborasi. Konsortium ini mensasarkan tujuh peratus pasaran global AP dengan nilai USD 5 bilion menjelang tahun 2025.
Soalan saya Dato’ Yang di-Pertua, pertamanya apakah business model yang akan digunakan bagi melaksanakan keseluruhan inisiatif ini dan berapakah anggaran kos pembiayaannya. Keduanya, pembangunan AP ataupun advanced packaging akan melalui peringkat permulaan pilot project dan mass production line.
Sila nyatakan timeline dan good map bagi pelaksanaan AP dan berapakah jumlah pembiayaan bagi setiap peringkat ini dan adakah kos ini akan dibiayai oleh Malaysia Science Enrolment. Terima kasih Dato’ Yang di-Pertua, terima kasih Menteri.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Silakan Menteri untuk menjawab.
Datuk Chang Lih Kang
Terima kasih Speaker, terima kasih Kubang Pasu.
Saya cuba jawab tentang business model ini. Sebenarnya ini adalah satu projek R&D, di mana kita memberikan geran kepada company, tetapi ini bukan kepada satu- satunya syarikat, tetapi kepada satu konsortium yang ditubuhkan oleh MSE, lima syarikat dan juga bersama dengan institusi kerajaan seperti MIMOS dan keseluruhan dana yang digunakan adalah RM185 juta.
Dan itu adalah apa yang ada dan kita menjalankan satu pilot project selama dua tahun dan dua tahun itu adalah satu proses pembangunan kapasiti di mana kita cuba membangunkan kapasiti syarikat-syarikat tempatan untuk menjalankan aktiviti advance packaging sekarang dari TRL 5 sampai TRL 9 Technology Readiness Levels, so apabila sampai ke TRL 9, maksudnya teknologi kita bolehlah masuk ke dalam pasaran.
Selepas itu kita akan serahkan sepenuhnya kepada pihak industri di mana pihak industri dia— mereka perlu mencari klien sendiri, mereka perlu mencari dana sendiri. Apa peranan MSE sekarang adalah untuk mempercepatkan proses supaya produk ini dari peringkat R&D masuk ke peringkat commercialization dan selepas itu saya rasa kalau perlu dana yang lain, so pihak swasta kena cari mungkin dari venture capital private ataupun institusi seperti Khazanah, Jelawang Capital dan lain-lain.
So, itu adalah peranan MSE pada sekarang, di mana kita akan membantu syarikat-syarikat ini untuk membangunkan kapasiti. So, selepas itu, kita serahkan kepada mereka supaya industri tidak terlalu bergantung kepada dana kerajaan sahaja. Sekian, terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Silakan Yang Berhormat Balik Pulau.
Dato' Muhammad Bakhtiar bin Wan Chik - Balik Pulau
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Kita memang serba tahu di Malaysia ini semikonduktor ekosistem kebanyakannya berkisar daripada assembly dan test dan banyak semikonduktor manufacturing industri di sini mula 30, 40 tahun dulu hanya memfokuskan assembly and test untuk mengambil kesempatan tenaga kerja kita yang murah dan sebagainya.
Jadi, saya hendak tanya— bagaimanakah, apakah perkembangan terkini kerjasama strategik antara Kerajaan Malaysia dengan Arm Holdings yang telah pun dikenal pasti untuk membangunkan ekosistem especially on the chip design, and IC design, mass design and the advance packaging.
Apakah sasaran yang telah ditetapkan untuk kita membangunkan bakat, terutama sekali dari segi kapasiti building termasuklah di universiti-universiti tempatan dan bagaimanakah penyertaan, tadi ada sebut beberapa konsortium tadi, bagaimanakah mereka boleh mengambil kesempatan dengan kerjasama Arm Holdings ini untuk membangunkan IC design dan advance packaging design, thank you. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Silakan Menteri.
Datuk Chang Lih Kang
Terima kasih Speaker, terima kasih Balik Pulau, sorry. Tuan Yang di-Pertua, sebenarnya ini adalah dua projek yang berlainan, yang berasingan memang untuk kita move up evolution dengan izin, untuk rantaian nilai semikonduktor ini. Dua, tiga perkara yang perlu kita bangunkan, yang pertama adalah advance packaging dan kedua ialah IC design, tetapi apa yang MOSTI memainkan peranan adalah membangunkan kapasiti packaging untuk IC design lebih pada MITI dan Kementerian Ekonomi.
Tetapi kerjasama strategik Arm memang boleh membantu untuk kita membangunkan bakat kita sebab dalam kontrak kita bersama dengan Arm, termasuklah Arm perlu melatih 10,000 orang pekerja yang berkemahiran dalam IC design ini.
Datuk Chang Lih Kang
So, saya rasa mungkin soalan ini boleh dijawab oleh MITI ataupun Kementerian Ekonomi, sebab itu di luar soalan ini. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Terima kasih Yang Berhormat Menteri. Majlis ke soalan yang ketiga. Dipersilakan Datuk Dr.
Ahmad Marzuk bin Shaary, Yang Berhormat Pengkalan Chepa.
3. Datuk Dr. Ahmad Marzuk bin Shaary [Pengkalan Chepa]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Bismilllahirrahmanirrahim. Pengkalan Chepa minta Menteri Kerja Raya menyatakan sama ada kementerian telah meneliti kebolehlaksanaan cadangan penyambungan Jalan Persekutuan FT131 Pasir Hor ke Panchor hingga ke Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra bagi memperkukuhkan ketersambungan antara rangkaian Jalan Persekutuan, ECRL dan juga pengangkutan udara di Kelantan.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Dipersilakan, Menteri Kerja Raya untuk menjawab soalan tersebut.
Menteri Kerja Raya - Dato Sri Alexander Nanta Linggi
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, terima kasih Yang Berhormat Pengkalan Chepa. Tuan Yang di- Pertua, untuk makluman Ahli Yang Berhormat Pengkalan Chepa, kementerian ini mengambil maklum akan cadangan penyambungan Jalan Persekutuan FT131 hingga ke Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra seperti yang dibangkitkan. Jalan terlibat yang menghubungkan ke Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra ialah Jalan Persekutuan FT131 dan jalan negeri ialah Jalan Padang Tembak D4.
Berdasarkan maklumat trafik yang telah dilaksanakan, kesesakan laluan FT131 didapati berlaku di beberapa lokasi hotspot iaitu di Persimpangan Kubang Kerian, laluan hadapan Hospital Kubang Kerian, di persimpangan Demit yang menghubungkan laluan negeri D108, di persimpangan JPJ yang menghubungkan laluan negeri D106 dan di persimpangan Panchor yang menghubungkan Jalan Padang Tembak.
Oleh yang demikian, projek menaiktaraf jalan FT209 dan FT131 dari persimpangan bertingkat Pasir Hor ke Panchor yang telah diluluskan oleh kerajaan di bawah Rolling Plan Ke-3, Rancangan Malaysia Kesebelas itu adalah bertujuan mengatasi masalah kesesakan tersebut. Dan untuk makluman Ahli Yang Berhormat juga, bagi laluan FT131 selepas persimpangan Panchor yang menghubungkan Jalan Padang Tembak, jadi, tahap perkhidmatan laluan tersebut adalah pada tahap perkhidmatan B, level of service (B) manakala laluan Padang Tembak (jalan negeri) adalah pada tahap perkhidmatan C, di mana kedua-dua aliran trafik masih lancar.
Oleh itu, kementerian ini berpendapat cadangan untuk menyambung laluan tersebut terus ke Lapangan Sultan Ismail Petra sepanjang lapan kilometer masih tidak kritikal memandangkan pergerakan trafik masih lancar. Walau bagaimanapun, penelitian seterusnya akan dilaksanakan selepas projek naik taraf FT131 tersebut siap dilaksanakan, manakala cadangan menaiktaraf Jalan Padang Tembak hingga ke Lapangan Terbang Sultan Ismail, kementerian ini mengesyorkan agar dapat dirujuk kepada negeri Kelantan memandangkan jalan tersebut adalah jalan negeri.
Tanggungjawab kementerian ini hanyalah meliputi bagi Jalan Persekutuan sahaja.
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, semakan kementerian ini juga, mendapati tiada permohonan projek diterima daripada Kerajaan Negeri Kelantan di bawah Rolling Plan 1 dan 2 Rancangan Malaysia Ketiga Belas bagi menaik taraf jalan FT131 tersebut.
Prosedur bagi permohonan projek menaik taraf Jalan Persekutuan sedia ada dan membina jalan baharu adalah melalui kerajaan negeri berdasarkan senarai keutamaan negeri yang dikemukakan kepada Kementerian KKR ini. Sehubungan itu, disyorkan supaya cadangan projek tersebut dikemukakan kepada pihak kerajaan negeri melalui Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) atau JKR negeri untuk dimasukkan dalam senarai keutamaan negeri di dalam rolling plan yang akan datang.
Jadi, kementerian ini akan meneliti cadangan projek ini, apabila dimohon oleh kerajaan negeri nanti berdasarkan senarai keutamaan negeri dan akan diberi pertimbangan sewajarnya untuk diangkat kepada agensi pusat jika memenuhi keperluan teknikal untuk dilaksanakan. Tertakluklah kepada agihan peruntukan pembangunan kepada Kementerian KKR ini. Sekian, terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Silakan Yang Berhormat, soalan tambahan.
Datuk Dr. Ahmad Marzuk bin Shaary - Pengkalan Chepa
Terima kasih Yang Berhormat Menteri di atas jawapan yang diberikan. Yang Berhormat Menteri mungkin bersetuju bahawa pembangunan sesuatu negeri ataupun wilayah sangat bergantung kepada connectivity ataupun ketersambungan jalan pengangkutan udara dan selepas ini ada ECRL dan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra ini antara yang terbaru dan tercantik di Semenanjung, tetapi jalan yang menghubungkan lapangan terbang kalau dikekalkan, tidak dinaiktaraf sebagaimana yang ada dalam kelulusan Rolling Plan 1 dan 2 RMK13, ia nya akan jadi satu missing link yang tidak sepatutnya berlaku.
Walau bagaimanapun, perkara tersebut sebagaimana Yang Berhormat sebut tadi adalah merupakan keutamaan yang akan dimasukkan oleh kerajaan negeri.
Keduanya Yang Berhormat, kalau sekiranya jalan itu mati di Panchor sahaja, dia akan terjadinya satu fenomena yang— traffic bottle neck yang daripada jalan besar, tiba-tiba jadi sempit akan menyebabkan kesesakan yang mungkin boleh dijangka untuk masa akan datang.
Jadi, saya ingin bertanya kepada Yang Berhormat, kalau kerajaan negeri akan memasukkan dalam senarai keutamaan negeri untuk Rolling Plan 3 dan 4 RMK13 ini, adakah pihak kementerian boleh bersetuju untuk mempertimbangkan semula, meneliti semula kerana ini jadi macam tak sudah jalan, Yang Berhormat.
Pergi situ sepatutnya terus sampai ke airport, sangat-sangat menarik. Terima kasih Yang Berhormat.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Silakan Yang Berhormat Menteri untuk menjawab.
Dato Sri Alexander Nanta Linggi
Ya. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Yang Berhormat Pengkalan Chepa, Kementerian Kerja Raya sentiasa bersikap terbuka lah dan mengalu-alukan sebarang permohonan atau cadangan projek pembangunan infrastruktur jalan raya daripada kerajaan negeri dan juga pandangan daripada Yang Berhormat, wakil rakyat. Kementerian amat menghargai komitmen kerajaan negeri dalam mengenal pasti keperluan infrastruktur setempat demi kesejahteraan rakyat.
Jadi, penyambungan rangkaian pengangkutan yang cekap serta pertumbuhan ekonomi di peringkat wilayah setempat itu. Jadi sehubungan itu, kerajaan negeri, Tuan Yang di-Pertua, disyorkan untuk memastikan projek tersebut dimasukkan ke dalam senarai keutamaan negeri. Kementerian ini akan meneliti cadangan projek ini apabila dimohon oleh kerajaan negeri dan akan memberi pertimbangan yang sewajarnya untuk diangkat kepada agensi pusat jika memenuhi keperluan. Ha, ini yang penting. Teknikal, untuk dilaksanakan. Tertakluklah kepada agihan peruntukan pembangunan kepada kementerian ini.
Jadi, saya faham yang dimaksudkan oleh Yang Berhormat sebab pegawai saya bekalkan saya dengan peta ini. Jadi, jelas di sini. Nampaknya, memang ada— apa kata rasionallah yang baik untuk apa yang cadangan Yang Berhormat. Cuma, kita mengikut prosedur dia, silalah Yang Berhormat angkat kepada kerajaan negeri dan kita berharap kerajaan negeri angkat kepada KKR untuk kami boleh sokong nanti. Sekian, terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Terima kasih Yang Berhormat. Sebelah kanan?
Dato’ Mohd Isam bin Mohd Isa - Tampin
[Bangun]
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Silakan, Yang Berhormat Tampin.
Dato’ Mohd Isam bin Mohd Isa - Tampin
Terima kasih Dato' Yang di- Pertua. Sebab tak ada yang tanya, Tampin tanya, Tampin selalu tekan. Yang Berhormat Menteri, bila tajuk Jalan Persekutuan ini, saya nak tanya Yang Berhormat Menteri. Kalau di Negeri Sembilan ini, jalan negeri kebanyakan jalannya cantik dan juga mempunyai lampu jalan yang cantik dan saya nak minta tolong kepada Yang Berhormat Menteri, kaji semula Jalan-jalan Persekutuan yang agak gelap, terutamanya di kawasan-kawasan yang nak menuju ke kawasan FELDA. Terima kasih Dato' Yang di-Pertua.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Silakan, Yang Berhormat Menteri.
Dato Sri Alexander Nanta Linggi
Tuan Yang di-Pertua, kami di KKR ini sentiasa peka dan mengetahui keperluan untuk mencahayakan Jalan Persekutuan tapi kita hakikatnya tidak mampu lah untuk mencahayakan sepanjang sebatang jalan ataupun— jadi, kita hanya boleh menumpukan dengan peruntukan yang ada diberi kepada tempat-tempat yang berisiko tinggi ya, kemalangan. Di situlah kita utamakan untuk pemasangan lampu jalan ini.
Jadi kita dah ada maklumat, data-data kita dah ada ke seluruh negara, di mana keperluannya lampu-lampu ini dipasang di Jalan Persekutuan, termasuklah di Negeri Sembilan. Termasuklah di Tampin Yang Berhormat. Sekian, terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Terima kasih Yang Berhormat. Yang Berhormat, sekarang tamatlah sesi untuk Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Sebelum saya mulakan Yang Berhormat-Yang Berhormat, Majlis telah menerima beberapa permohonan ketidakhadiran. Saya percaya sebab di PRN di Johor itu. Jadi, soalan nombor 5, 7, 11 dan 14 tidak akan ditanya kerana permohonan oleh Yang Berhormat- Yang Berhormat yang berkaitan telah diluluskan.
Jadi Yang Berhormat-Yang Berhormat, berikutan itu sila bersedia ya. 5, 7, 11, 14 tiada, jadi soalan-soalan berikut akan saya panggil terus. Untuk pertanyaan- pertanyaan bagi jawapan lisan dimulakan, dipersilakan Tuan Chong Chieng Jen, Yang Berhormat Stampin.
Tuan Chong Chieng Jen - Stampin
Terima kasih Dato' Timbalan Speaker.
Soalan saya soalan 1.
1. Tuan Chong Chieng Jen [Stampin] minta Menteri Kewangan menyatakan jumlah keseluruhan hutang yang ditanggung oleh Kerajaan Persekutuan atas hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan setakat ini, berapa telah dibayar oleh kerajaan terhadap hutang tersebut. Setakat ini, berapakah jumlah kerajaan telah berjaya mendapat semula daripada dana dan aset 1MDB yang diseleweng.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Silakan Menteri Kewangan.
Timbalan Menteri Kewangan - Tuan Liew Chin Tong
Terima kasih Dato' Yang di-Pertua. Terima kasih Yang Berhormat Stampin. Setakat tiga 30 Jun 2026, kerajaan telah membayar RM42.5 bilion hutang dan komitmen 1Malaysia Development Berhad (1MDB) termasuk bayaran prinsipal, faedah, kos guaman dan operasi serta komitmen lain.
Di samping itu, kerajaan masih bertanggungjawab menanggung Sukuk Islamic Medium Term Notes (IMTNs) yang dijamin oleh kerajaan berjumlah RM8.9 bilion. Sukuk ini meliputi bayaran prinsipal RM5 bilion dan faedah RM3.9 bilion yang akan matang pada tahun 2039. Ini bermakna secara keseluruhan tanggungan 1MDB yang telah dan masih perlu ditanggung oleh kerajaan adalah sebanyak RM51.4 bilion.
Setakat ini kerajaan telah berjaya mendapatkan semula dana berkaitan 1MDB berjumlah RM31.3 bilion. Sekiranya tiada lagi pemulangan dana pada masa hadapan kerajaan masih terpaksa menanggung baki sebanyak RM20.1 bilion daripada keseluruhan obligasi tersebut. Pada masa ini, kerajaan terus mempergiat usaha mendapatkan semula aset-aset 1MDB.
Antara tindakan yang diambil termasuk pertama, pendakwaan jenayah dan sivil terhadap Dato' Sri Mohd. Najib bin Tun Abdul Razak bagi kes 1MDB, mahkamah tinggi pada 25 Disember 2025 telah menjatuhkan hukuman penjara selama 15 tahun dan denda sebanyak RM11.38 bilion selepas didapati bersalah atas 25 pertuduhan wang haram dan menggunakan kedudukan untuk memperoleh suapan.
Kedua, saman sivil terhadap Datin Sri Rosmah Mansor bagi mendapatkan kembali USD380 juta ganti rugi berhubung dana dari 1MDB yang digunakan untuk membeli barangan mewah, termasuk beg tangan dan barangan kemas.
Ketiga, pendakwaan jenayah dan sivil terhadap Low Taek Jho atau Jho Low yang menjadi dalang utama penyelewengan 1MDB dengan nilai tuntutan sivil bernilai USD3.78 bilion.
Keempat, saman sivil terhadap Tarek Obaid dengan Patrick Mahony yang terlibat kes penyelewengan 1MDB. Mahkamah Jenayah Persekutuan Switzerland turut menjatuhkan hukuman terhadap kedua-duanya serta mengarahkan bayaran ganti rugi USD1.75 bilion kepada 1MDB.
Kelima, tindakan saman sivil turut diambil terhadap pelbagai institusi kewangan antarabangsa yang terlibat dalam penyelewengan dana 1MDB. Walau bagaimanapun memandangkan sebahagian besar usaha pemulihan yang bernilai signifikan telah berjaya direalisasikan tidak mungkin pemulihan dana atau aset masa hadapan mencukupi untuk menampung keseluruhan baki obligasi 1MDB.
Sehubungan itu, kerajaan dijangka perlu menanggung sebahagian besar baki liabiliti bersih yang dianggarkan berjumlah RM20.1 bilion. Hakikatnya skandal 1MDB bukan saja mengakibatkan kerugian kewangan yang besar kepada kerajaan malah telah menjejaskan reputasi dan kredibiliti Malaysia di peringkat antarabangsa. Isu ini mendapat liputan meluas media global, mencetuskan siasatan oleh pelbagai agensi penguatkuasaan di beberapa negara serta melibatkan pelbagai prosiding mahkamah rentas sempadan.
Keadaan ini telah memberi kesan negatif persepsi masyarakat antarabangsa terhadap sistem tadbir urus, integriti institusi awam dan pengurusan kewangan negara. Reputasi negara yang terjejas turut memberi cabaran kepada usaha kerajaan untuk memperkukuh keyakinan pelabur, meningkatkan daya saing ekonomi serta mengekalkan kepercayaan pasaran terhadap institusi dan dasar fiskal negara.
Atas sebab itu, Kerajaan MADANI di bawah kepimpinan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri berusaha sedaya upaya memperkukuh tatakelola baik pentadbiran negara bagi memulih semula keyakinan dunia terhadap Malaysia.
Contohnya, kita telah berjaya mencipta prestasi pelaburan diluluskan dan perdagangan tertinggi dalam sejarah serta kedudukan Indeks Daya Saing Dunia yang bertambah baik. Sekian, terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Silakan Yang Berhormat Stampin untuk soalan tambahan.
Tuan Chong Chieng Jen - Stampin
Terima Kasih Dato' Timbalan Speaker dan terima kasih Yang Berhormat Timbalan Menteri. RM51 bilion duit rakyat telah dicuri akibat penipuan kes 1MDB. Setakat ini kita telah ambil balik RM31 bilion.
Bersyukurlah kita ada tukar kerajaan pada tahun 2018–2022. Kalau tidak, RM31 bilion itu pun kita tidak dapat ambil balik.
Walaupun ada kes pendakwaan dan Dato' Sri Najib telah dihukum denda RM11 bilion dan juga ada kes saman terhadap Jho Low, beberapa— USD3 bilion tetapi nampaknya chances of recovery daripada kedua-dua itu amatlah kecil dan maka soalan saya adalah— yang baki itu RM20 bilion yang terpaksa kerajaan menanggung, menanggung dan bayar. Bagaimanakah ia dibiayai dan apakah implikasinya terhadap belanjawan negara kita dan apakah langkah-langkah yang telah diambil, spesifik yang telah diambil oleh Kerajaan MADANI untuk mengelakkan sesuatu skandal serupa 1MDB itu berulang pada masa depan?
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Silakan Menteri untuk menjawab.
Tuan Liew Chin Tong
Terima kasih Yang di-Pertua. Terima kasih Yang Berhormat Stampin.
Tuan Syed Saddiq bin Syed Abdul Rahman - Muar
[Bangun]
Kapten Dato' Dr. Zulkafperi bin Hanapi (B) - Tanjong Karang
[Bangun]
Tuan Liew Chin Tong
Secara amnya ada empat kos atau kerugian yang saya anggap kes 1MDB telah membawa kepada negara.
Satu ialah jumlah yang disebutkan dan jumlah ini jumlah RM51 bilion ini kalau tidak ada usaha, maka jumlah ini adalah jumlah kerugian yang ditanggung oleh Kerajaan Malaysia tapi telah ada usaha selepas 2018 bermakna kita sekarang ini akan tanggung kos RM20 bilion atau RM20.1 bilion yang kerajaan rasa agak sukar untuk dapat kembali semua.
Tuan Liew Chin Tong
Ketiga ialah opportunity cost. Kos yang kita boleh guna pakai dana ini untuk tujuan lain, kalau tidak ada skandal ini. Dan keempat adalah kos reputasi ataupun kos nama baik atau air muka negara kita. Dan apa usaha yang telah dilaksanakan oleh kerajaan untuk memperkukuh tatakelola negara kita. Satu, penggubalan Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal. Itu adalah salah satu usaha supaya tidak lagi ada Menteri Kewangan yang boleh membuat sesuka hati.
Kedua, pindaan kepada Akta Audit yang memperluaskan skop pengauditan Ketua Audit Negara melalui pendekatan follow the public money bagi membolehkan pengauditan dilaksanakan ke atas penggunaan dana awam secara lebih menyeluruh.
Ketiga ialah penggubalan Akta Perolehan Kerajaan dan di samping itu juga ada usaha untuk menggubal Akta Syarikat Milik Kerajaan atau Akta SOE. Ini sebahagian daripada usaha kerajaan untuk membaiki tatakelola dan memastikan skandal ini tidak lagi— tidak ulang lagi.
Untuk dari segi peruntukan untuk— yang telah dibelanja untuk menyelesaikan isu 1MDB. Sejak tahun 2017, kerajaan telah membelanjakan sebanyak RM18.7 bilion daripada peruntukan belanja mengurus dan belanja pembangunan yang diluluskan melalui belanjawan tahunan bagi memenuhi obligasi kewangan 1MDB.
Sebaik sahaja Kerajaan MADANI mengambil alih pentadbiran, pada Mac 2023, kerajaan terpaksa memperuntukkan RM13 bilion daripada belanja pembangunan bagi melunaskan bon 1MDB berjumlah USD3 bilion yang dijamin oleh kerajaan. Jumlah tersebut bersamaan kira-kira 13.1 peratus daripada keseluruhan peruntukan belanja pembangunan tahun 2023. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato' Mohd Nor
Terima kasih Yang Berhormat Menteri. Dipersilakan Yang Berhormat Muar.
Tuan Syed Saddiq bin Syed Abdul Rahman - Muar
Ya, betul negara rugi lebih RM51 bilion dan Dato' Sri Najib telah pun menerima hukuman yang setimpal.
Lebih 20 tahun penjara dan lebih RM100 bilion— minta maaf. RM20 bilion fine.
Persoalan saya, sampai ke hari ini mastermind 1MDB iaitu Jho Low masih bebas dan tiada tindakan susulan. Laporan daripada investigative journalists yang diterbitkan oleh Sarawak Report dan WSJ mengatakan bahawa Jho Low bersama dengan delegasi China memasuki Malaysia secara sukarela ya, masuk ke dalam Malaysia untuk runding berkenaan pakej pembayaran 1MDB semula. Ini melibatkan MOF kerana kalau rundingan itu berlaku, duit itu dimasukkan ke dalam akaun kewangan bawah kelolaan MOF.
Persoalan saya, sampai ke hari ini belum dapat pengesahan daripada kerajaan adakah betul Jho Low bersama dengan delegasi China masuk ke dalam Malaysia, runding berkenaan 1MDB walaupun satu Malaysia kenali beliau sebagai perompak yang terbesar yang melakukan jenayah 1MDB. Saya harap jawapan ini dapat diberikan, jangan taici kepada kementerian lain because this is a very serious breach of Malaysia sovereignty. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato' Mohd Nor
Silakan Menteri.
Tuan Liew Chin Tong
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Terima kasih Yang Berhormat Muar. Saya menafikan tuduhan tersebut. Terima kasih.
Datuk Dr. Radzi Jidin - Putrajaya
Tuan Yang di-Pertua, jawapan pendek.
Minta saya tanya satu lagi. Boleh?
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato' Mohd Nor
Yang Berhormat, saya akan tidak berlaku adil. Duduk, Yang Berhormat.
Datuk Dr. Radzi Jidin - Putrajaya
Soalan tak banyak hari ni Tuan Yang di- Pertua. Boleh satu je? Penting ini. Isu 1MDB, saya minta tolong sikit Tuan Yang di- Pertua.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato' Mohd Nor
Saya tak benarkan.
Datuk Dr. Radzi Jidin - Putrajaya
Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato' Mohd Nor
Terima kasih. Baik, berikut Majlis ke soalan yang kedua. Dipersilakan Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee, Yang Berhormat Beluran.
Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee - Beluran
Terima kasih Yang Berhormat Speaker, soalan nombor 2.
2. Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee [Beluran] minta Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air menyatakan impak kerjasama rentas sektor terhadap pencapaian sasaran kapasiti tenaga boleh baharu negara, termasuk jumlah pelaburan yang berjaya direalisasikan, projek yang telah dilaksanakan dan cabaran yang masih menghalang kemajuan agenda peralihan tenaga.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato' Mohd Nor
Dipersilakan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air untuk menjawab.
Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air - Dato’ Sri Haji Abdul Rahman bin Haji Mohamad
Terima kasih Yang Berhormat Tuan Yang di- Pertua, terima kasih Yang Berhormat Beluran. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, kerajaan melalui Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air
(PETRA) berpandangan bahawa kejayaan agenda peralihan tenaga negara tidak boleh digerakkan oleh kerajaan secara bersendirian.
Sebaliknya memerlukan pendekatan yang menyeluruh atau whole-of-nation approach yang melibatkan kerjasama strategik antara Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri, agensi kawal selia, syarikat utiliti, sektor swasta, institusi kewangan, pemain industri serta masyarakat.
Pendekatan kerjasama rentas sektor ini telah memainkan peranan penting dalam mempercepatkan pembangunan tenaga boleh baharu (TBB) negara.
Sehingga 31 Disember 2025, kapasiti terpasang TBB negara telah mencapai 31 peratus seperti yang disasarkan dan berada di landasan yang positif ke arah mencapai sasaran kapasiti TBB 70 peratus menjelang tahun 2025 di bawah National Energy Transition Roadmap (NETR).
Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua, kerjasama strategik antara kerajaan dan sektor swasta telah diperkukuhkan melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif seperti Large Scale Solar (LSS), Feed-In Tariff, Corporate Renewable Energy Supply Scheme serta program-program yang menggalakkan penyertaan pengguna dan industri di dalam pembangunan tenaga boleh baharu.
Melalui pelaksanaan 117 projek LSS, negara berjaya menarik pelabur swasta sekitar RM22 bilion dengan kapasiti melebihi 6,000 megawatt. Bagi pelaksanaan LSS5 dan LSS5+, hampir 3.9 gigawatt kapasiti solar baharu telah ditawarkan yang dijangka menarik pelaburan tambahan sekitar RM12 bilion.
Berdasarkan unjuran semasa, pelaksanaan NETR dijangka mampu menarik pelaburan sehingga RM1.85 trilion serta mewujudkan kira-kira 310,000 peluang pekerjaan hijau menjelang tahun 2050. Ini menunjukkan bahawa agenda peralihan tenaga bukan sekadar usaha menangani perubahan iklim, malah menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi baharu negara.
Walaupun perkembangan ini amat memberangsangkan, Kerajaan MADANI masih terdapat beberapa cabaran yang perlu ditangani antaranya ialah keperluan memperkukuh infrastruktur grid bagi menyokong pendekatan kapasiti TBB, mempercepatkan pembangunan teknologi penyimpanan tenaga seperti Battery Energy Storage System (BESS) dan memperluaskan akses kepada pembiayaan hijau yang kompetitif. Sehubungan itu, PETRA akan terus memperkukuhkan kerjasama dengan semua pihak berkepentingan melalui dasar yang menyokong pelaburan, inovasi teknologi dan pembangunan industri tempatan.
Pendekatan ini penting bagi memastikan agenda pelan tenaga negara dilaksanakan secara teratur, berdaya saing, mampu milik dan pada masa yang sama terus menjamin keselamatan bekalan elektrik negara. Terima kasih Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato' Mohd Nor
Silakan Yang Berhormat Beluran.
Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee - Beluran
Terima kasih Yang Berhormat Speaker. Apa juga pendekatan yang diambil oleh kerajaan, be it whole-of-nation approach, apa juga bentuk dan jenis tenaga yang akan diagihkan, sama ada tenaga nuklear, tenaga solar, tenaga baharu, rakyat Malaysia di seluruh negara inginkan agihan ini dapat dibuat secara adil dan saksama.
Kerana jika kita lihat negeri-negeri Semenanjung dengan negeri Sabah contohnya. SAIDI, satu ukuran System Average Interruption Duration Index di Sabah mencatat antara 200 hingga 300 minit setahun. Negeri-negeri Semenanjung 40 hingga 60 minit setahun gangguan elektrik. Kuala Lumpur less than 30 minute per year. Dan itu merupakan kenyataan yang berlaku. Jika lihat ini sebagai satu kegagalan, ini merupakan kegagalan Kerajaan Persekutuan untuk mengagih sumber tenaga bekalan asas elektrik kepada rakyat Malaysia yang berada di Sabah. Apakah jaminan Kerajaan Persekutuan melalui kementerian ini dalam dasar strategik pelan tenaga boleh baharu ini, agihan akan lebih adil, tidak terpilih dan lebih saksama terhadap semua negeri-negeri bagi rakyat Malaysia dapat menikmati bekalan asas elektrik yang lebih saksama di seluruh negara menjelang tahun-tahun ke hadapan ini? Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato' Mohd Nor
Silakan Menteri, menjawab.
Dato’ Sri Haji Abdul Rahman bin Haji Mohamad
Terima kasih Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua. Terima kasih Yang Berhormat Beluran. Semangat nampak Yang Berhormat Beluran memperjuangkan masalah Sabah. Kita tahu sebenarnya di Sabah memang mempunyai sedikit permasalahan dari segi bekalan elektrik dan sebagainya— dan sebagainya.
Jadi, saya sebut tentang elektriklah.
Dato’ Sri Haji Abdul Rahman bin Haji Mohamad
Yang Berhormat Yang di-Pertua, sebenarnya sebab itu dalam perancangan kita melalui elektrik Sabah, kita telah beberapa kali menyasarkan supaya agihan- agihan, seperti yang dinyatakan oleh Yang Berhormat, yang berkapasiti yang lebih besar, kita nak cuba untuk Sabah. Dan yang saya nyatakan sebentar tadi, melalui beberapa agenda seperti― kita cuba dengan Sabah.
Yang dinyatakan oleh Yang Berhormat bahawa elektrik Sabah ini tidak termasuk sebenarnya dalam pentadbiran kita dan di bawah elektrik Sabah. Jadi, sebab itu, dari segi LSS itu, di Sabah tidak terlibat, yang saya nyatakan. Mungkin kita boleh lakukan melalui rantaian-rantaian lain seperti BESS dan penambahan grid dan sebagainya. Ini merupakan untuk mendapatkan lebih besar dari segi permohonan melalui NEM dan sebagainya. Yang itu yang saya nyatakan bahawa antaranya disebabkan oleh cabaran-cabaran yang agak berbeza seperti di Sabah dan Semenanjung ini.
Dan saya percaya, memang yang dinyatakan oleh Yang Berhormat sebentar tadi, melalui program yang sedang kita bincangkan supaya menaik taraf sama di negeri Sabah. Kita sedang berbincang sebenarnya. Sebab itu Sabah Electricity Sdn.
Bhd., sebenarnya telah kita mengadakan beberapa rundingan supaya kegagalan agihan yang dinyatakan oleh Yang Berhormat sebentar tadi kita nak cuba sebaik mungkin agihan yang adil kepada negeri Sabah juga.
Saya tahu sebenarnya masalah di Sabah. Sebab kita kempen pun lama di Sabah. Daripada PRN dulu sampai PRN sekarang kita berkempen. So, kita tahu masalah dihadapi. Dan saya pernah duduk di KPLB— ketika itu namanya KPLB― saya tahu masalah-masalah yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat dan dibangkitkan oleh rakyat Sabah sewaktu saya berada di KPLB semasa itu. Dan kebetulan saya duduk di PETRA sekarang dan kita bincang pun masalah di Sabah, masalah dari segi elektrik ini supaya kita dapat agihan yang adil. Dan, insya-Allah, kita akan cuba sebaik mungkin untuk lakukan perkara tersebut.
Terima kasih, Yang Berhormat Yang di-Pertua.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Terima kasih, Yang Berhormat. Silakan, Yang Berhormat Pasir Gudang.
Tuan Hassan bin Abdul Karim - Pasir Gudang
Terima kasih, Dato’ Speaker. Yang Berhormat Timbalan Menteri, saya nak bangkitkan di sini soalan bekalan tenaga elektrik khusus di Sarawak. Saya ada membaca laporan media baru- baru ini. Seperti yang kita tahu, Sarawak ini hampir besar macam di Semenanjung saiznya dan penduduk mereka bertaburan. Ramai di luar bandar, di pedalaman.
Jauh. Mereka perlukan bekalan elektrik. Setakat ini, mereka menggunakan genset, generator yang menggunakan diesel. Dan subsidi diesel mereka tidak peroleh, tidak dapat. Mereka rakyat kita.
Jadi, saya baca wakil-wakil rakyat mereka, Ahli Parlimen mereka, Senator mereka telah bersuara kepada Kerajaan Pusat. Bantulah beri subsidi kepada rakyat di pedalaman di Sarawak itu yang nak menjana elektrik di rumah mereka, di kebun mereka ya, dengan subsidi yang berpatutanlah. Tolonglah mereka ya. Ertinya, janganlah kemudahan peralihan tenaga ini untuk bandar-bandar ertinya. Keadaan mereka jauh berbeza dari di Semenanjung ini.
Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Silakan, Yang Berhormat Menteri.
Dato’ Sri Haji Abdul Rahman bin Haji Mohamad
Terima kasih, Timbalan Yang di-Pertua. Terima kasih, Yang Berhormat Pasir Gudang.
Sebenarnya perkara yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Pasir Gudang, sebenarnya kita bersetuju apa dinyatakan oleh Yang Berhormat sebentar tadi.
Lantaran itu, sebab itu kita untuk mempertingkatkan di Sarawak ini, kita telah berbincang juga sebenarnya sebagaimana kita bincang dengan Sabah Electricity Sdn. Bhd.. Elektrik Sabah kita gunakan banyak penggunaan juga— betul, kita setuju, kita dengan penggunaan genset dan sebagainya sebab dia jarak yang begitu jauh dan sebagainya.
Dan dari segi Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) sendiri di bawah kementerian KKDW bersama kita telah perluaskan melalui kementerian KKDW untuk membantu bekalan elektrik luar bandar ini. Dan kebanyakan di luar bandar ini kita menggunakan BELB― Bekalan Elektrik Luar Bandar. PETRA cuba bekerjasama untuk bantu BELB. Dalam hal ini― sebab itu sekarang ini kita bermula dengan berbagai-bagai program seperti BESS dan sebagainya untuk kita dapat permudah dan percepatkan melalui jarak yang jauh. Maknanya, kita menggunakan bateri, solar dan sebagainya.
Kita amat faham kedudukan yang begitu luas sekali, bersamaan besar dengan Semenanjung sendiri Sarawak itu. Sama juga dengan Beluran, Kinabatangan sama besar dengan negeri Pahang. Maknanya, alat perhubungan itu memang agak jauh dan sudah pastilah kita menggunakan yang memudah cara untuk memastikan bahawa rakyat di luar bandar dapat menikmati bekalan elektrik di luar bandar. Terima kasih, Yang Berhormat Yang di-Pertua.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Terima kasih Yang Berhormat. Majlis ke soalan yang ketiga. Dipersilakan Tuan Fong Kui Lun, Yang Berhormat Bukit Bintang.
Tuan Fong Kui Lun - Bukit Bintang
Terima kasih Dato’ Yang di-Pertua.
Sukacita dapat mengalu-alukan kehadiran, dalam Parlimen, rombongan seramai 24 orang media dari Sarawak pada pagi ini...
[Tepuk] Soalan Bukit Bintang nombor 3.
3. Tuan Fong Kui Lun [Bukit Bintang] minta Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menyatakan jumlah warga emas dan orang kurang upaya yang direkodkan sebagai gelandangan atau hidup terbiar di kawasan bandar pada tahun 2026 serta pelan jangka panjang kementerian untuk memperluas kapasiti pusat perlindungan, penjagaan dan intervensi sosial bagi menghadapi peningkatan populasi golongan rentan ini.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Silakan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk menjawab.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat - Dato’ Sri Hajah Nancy binti Shukri
Terima kasih, Tuan Yang di-Pertua.
Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh. Tuan Yang di-Pertua, terima kasih juga kepada Yang Berhormat Bukit Bintang.
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sentiasa prihatin terhadap isu gelandangan termasuk golongan warga emas dan orang kurang upaya (OKU) yang merupakan antara kumpulan rentan dalam masyarakat. Untuk makluman, pengambilan orang papa dilaksanakan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengikut peruntukan Akta Orang-orang Papa 1977 [Akta 183]. Tindakan penguatkuasaan ini bukannya untuk menghukum orang papa tetapi bertujuan untuk melindungi dan memulihkan mereka.
JKM menjalankan operasi berjadual, bersepadu dan ad hoc berdasarkan aduan orang awam. Operasi dilaksanakan secara bersama dengan agensi berkaitan yang lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), pihak berkuasa tempatan (PBT), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Imigresen Malaysia dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).
Berdasarkan rekod JKM, seramai 206 orang warga emas telah diambil di seluruh negara di bawah peruntukan seksyen 3(1) Akta 183 bagi tempoh Januari hingga April 2026. Daripada jumlah tersebut, 48 adalah membabitkan kes di Kuala Lumpur. Sementara itu, tiada maklumat direkodkan bagi OKU yang diambil di bawah akta ini dalam tempoh yang sama.
Mereka yang diambil akan disaring bagi meneliti program pemulihan ataupun intervensi oleh agensi yang sesuai ke atas mereka dengan matlamat untuk mengintegrasikan semula mereka ke dalam masyarakat. Di bawah JKM, antara tindakan susulan yang diambil meliputi, pertama sekali, penyatuan semula dengan keluarga serta penempatan di institusi kendalian JKM seperti Rumah Seri Kenangan untuk warga emas yang memerlukan penjagaan dan kemasukan ke Desa Bina Diri
(DBD) bagi mereka yang produktif bagi mengikuti program pemulihan, latihan kemahiran dan bimbingan untuk meningkatkan disiplin, keyakinan diri dan kebolehpasaran pekerjaan agar dapat berdikari dan kembali berfungsi dalam masyarakat.
Selain itu, KPWKM menerusi agensinya Yayasan Kebajikan Negara juga menyediakan Anjung Singgah yang membantu gelandangan melalui penginapan sementara, makanan, kaunseling, saringan kesihatan, pembangunan diri, padanan pekerjaan dan rujukan kepada agensi berkaitan. Pendekatan bersepadu ini membantu mereka memperoleh pekerjaan, mengakses bantuan yang diperlukan serta kembali berdikari dan berintegrasi semula dengan keluarga atau masyarakat.
Manakala menerusi inisiatif yang dimulakan bersama Jabatan Wilayah Persekutuan, YKN turut mengendalikan Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur.
Pada masa ini, institusi-institusi JKM, Anjung Singgah dan Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur mempunyai kapasiti untuk menampung lebih 2,600 orang yang memerlukan perlindungan serta pemulihan.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat - Dato’ Sri Hajah Nancy binti Shukri
KPWKM dari masa ke semasa menambah baik perkhidmatan ini, termasuklah penambahan kapasiti serta peluasan tawaran perkhidmatan ke tempat baharu.
Sementara itu, KPWKM kini sedang menyemak semula Akta Orang-Orang Papa 1977 bagi menyesuaikan pemakaiannya, selaras dengan peredaran zaman agar ia kekal relevan. Antara perkara yang dipertimbangkan adalah menggubal satu akta baharu bagi menggantikan akta sedia ada setelah mengambil kira pelbagai cabaran isu kompleks masa kini berkaitan peningkatan bilangan pengemis dan gelandangan, termasuk ketiadaan penempatan khusus untuk gelandangan dengan masalah mental.
Fokus utama tertumpu kepada terma semasa, menyelaraskan punca kuasa agensi berkaitan, mewujudkan mekanisme tadbir urus yang jelas serta mengimbangi aspek intervensi pemulihan dengan tindakan penguatkuasaan. Sekian, terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Silakan Yang Berhormat Bukit Bintang. Soalan selanjut.
Tuan Fong Kui Lun - Bukit Bintang
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, soalan tambahan. Saya ingin bertanya dengan Yang Berhormat Menteri, apakah faedah dan kemudahan-kemudahan yang disediakan untuk golongan rentan ini? Dan apakah perlindungan ini dibuat secara panjang atau seumur hidup atau diberikan latihan dan kemahiran supaya mereka boleh kembali dalam masyarakat sebagai golongan yang berdikari? Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Silakan Menteri.
Dato’ Sri Hajah Nancy binti Shukri
Terima kasih Yang Berhormat. Dari segi faedah-faedah yang kita beri, terutama sekali kepada golongan ini, pertama sekali kepada warga emas. Memang kita kalau— ataupun gelandangan. Mereka boleh pergi ke tempat Anjung Singgah ataupun transit— rumah transit berada di— terutama sekali di Kuala Lumpur kerana di situ mereka akan dibantu, akan dilihat.
Ada juga yang mungkin tidak layak untuk kita beri bantuan kebajikan, terutama sekali kepada mereka yang dalam golongan warga emas ini supaya mereka dapat bantuan dari segi kebajikan dan ada juga yang tidak bekerja, gelandangan yang tidak bekerja atas sebab-sebab tertentu, maka mereka akan dibantu untuk mendapatkan peruntukan, kebajikan juga. Dan di situ, kita perlu disaring dahulu.
Kalau tidak disaring, kita tidak dapat menepati apa yang boleh mematuhi apa yang menjadi dasar dalam kerajaan kita.
Cuma Yang Berhormat Dato' Timbalan Yang di-Pertua, saya mengambil peluang ini, banyak yang kita dah lihat dalam sosial media, yang mengatakan kerajaan tak bantu. Tapi saya mohonlah kerjasama sama ada sebelah sana ataupun sebelah sini, sebab kita tahu kalau sebelah sana mungkin nak menjadi kerajaan, akan menghadapi isu yang sama.
Kita sering kali mendengar apabila menyatakan kita tidak bantu orang-orang yang berkeliaran dekat sisi, dekat kedai, dekat pasar semuanya itu. Sebenarnya, mengikut pengalaman yang kita ada, saya bertanya dengan pegawai. Sebenarnya, mereka ada rumah. Kadang rumah dia kecil, anak-anak, cucu-cucu tinggal dekat situ, maka dia lebih selesa kalau dia dekat luar.
Dan ada juga yang sudah menerima bantuan kita tapi tak cukup dikatakan.
Kalau kira cukup itu, memang agak sukar untuk kita nak menepati cita rasa mereka.
Cuma yang penting, kalau mereka dirasakan ada kelayakan, sila datang kepada kita.
Tak payah gaduh dengan kita dalam sosial media, tak payah nak tunjuk your heroic behavior, dengan izin. Sebab kami sedia membantu, sebab itu kerja kerajaan.
Jadi, saya mengambil peluang ini supaya kita dapat membantu mereka yang memang layak untuk dibantu. Sama-sama kita dapat membantu rakyat Malaysia.
Itulah tugas kita bersama sebagai wakil rakyat. Saya mengucapkan terima kasih, terutama sekali kepada NGO yang membantu juga, memberi peluang kepada mereka ini untuk membantu masyarakat ini. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Terima kasih Menteri. Silakan Yang Berhormat.
Dato’ Hajah Siti Zailah binti Mohd Yusoff - Rantau Panjang
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Soalan tambahan saya.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Rantau Panjang.
Dato’ Hajah Siti Zailah binti Mohd Yusoff - Rantau Panjang
Ya. Terlebih dahulu, saya ucapkan tahniahlah di atas usaha kementerian untuk membuat pindaan akta baharu, terutama Akta Orang Papa 1977 yang kita tahu tidak sesuailah dengan keadaan suasana semasa.
Dan di antara isu besar yang kita lihat di kalangan gelandangan ini adalah isu kesihatan mental. Begitu juga isu penyakit kronik, ketagihan dadah. Jadi, sejauh mana perkara ini dapat diselaraskan supaya— sebab saya tahu beban yang dihadapi oleh JKM. Dan begitu juga tentang kebajikan anak-anak, generasi kedua, generasi ketiga ini, generasi anak gelandangan ini yang terbiar, terutama di sudut pendidikannya, pembangunan kerohaniannya.
Jadi, sejauh mana perkara ini diambil kira? Dan saya ingin tahu juga, sejauh mana keberkesanan program di bawah Anjung Kasih dan Anjung Singgah? Dan apakah dia melibatkan juga gelandangan di kalangan warga asing? Minta penjelasan.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Silakan Menteri.
Dato’ Sri Hajah Nancy binti Shukri
Terima kasih Yang Berhormat. Saya nak jawab dulu mengenai Anjung Kasih. Tak ada kena mengena dengan gelandangan. Sebab itu adalah untuk keluarga pesakit-pesakit di hospital, dia berada di kawasan hospital. Dan untuk Anjung Singgah, kita sentiasa menerima. Cuma mungkin kalau ada yang mengatakan - minta supaya orang ini diambil segera oleh JKM, saya nak ceritakan bagaimana prosedur mereka.
Jadi, mereka akan pergi ke tempat itu, kadang-kadang mengambil masa kerana disebabkan keadaan tertentu. Cuma apa yang mereka lakukan, mereka akan pergi ke tempat itu, mereka akan tengok dulu apa masalah, sama ada ini orang Malaysia ataupun warga asing. Kalau warga asing, akan membawa bersama pihak Imigresen, pihak polis. Sebab itu bukan tugas kita. Satu lagi, kalau mental. Kita akan bekerjasama dengan pihak KKM untuk membantu untuk menangani masalah mental ini.
Dan mengenai anak mereka, kalau mereka ini sama ada warga asing ataupun warga, terutama sekali warga kita Malaysia, akan kita siasatkan dahulu. Kalau diperlukan, memang kita bawa ke institusi kita dan kita perlu juga membawa pergi ke mahkamah untuk mendapatkan persetujuan mahkamah sebelum kita dapat membawa mereka untuk kita lindung di institusi kita. Dan kalau dia warga asing, kita perlu kerjasama dengan pihak imigresen juga untuk membolehkan kita menempatkan mereka sama ada di tempat yang telah dikenakan oleh pihak Imigresen.
Selain daripada itu juga lagi, ia memerlukan pelindung kita untuk juga pergi ke mahkamah. Bayangkan kerja mereka. Jadi, ada mungkin terutama sekali untuk Bukit Bintang, ramai mereka di siang hari mengemis. Itu tidak semestinya orang kita semua. Maka, itu memerlukan banyak prosedur yang akan dipatuhi tapi pegawai kita sentiasa berada di sana.
Cuma mereka akan berada di situ hari ini. Besok di tempat lain. Dan pada malam hari, nampak orang kata, saya selalu nampak dalam sosial media, ramai— kerajaan dikutuk, kata tak bantu dia orang ini. Kerana orang beri makanan. Mereka akan turun walaupun rumah dia di atas sana, dalam di flat dekat sana, mereka akan turun kerana orang akan memberi makanan. Tapi alhamdulillah, ada pihak yang membantu.
Jadi, ini secara menyeluruh apa yang berlaku. Itu belum lagi diceritakan prosedur yang dihadapi oleh pegawai-pegawai kita. Saya harap itu menjawab.
Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Terima kasih Yang Berhormat Menteri. Majlis ke soalan yang ke-4. Dipersilakan Tuan Hassan bin Saad, Yang Berhormat Baling
Tuan Hassan bin Saad - Baling
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Waalaikumussalam.
Tuan Hassan bin Saad - Baling
Tuan Yang di-Pertua, soalan saya nombor 4.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Dipersilakan Menteri Pendidikan untuk menjawab.
4. Tuan Hassan bin Saad [Baling] minta Menteri Pendidikan menyatakan kesiapsiagaan kementerian menampung peningkatan permohonan kemasukan prasekolah termasuk aspek bilik darjah, guru dan kemudahan pembelajaran.
Timbalan Menteri Pendidikan - Tuan Wong Kah Woh
Terima kasih Dato' Yang di-Pertua, terima kasih Yang Berhormat Baling. Ada soalan yang telah pun dikemukakan. Kementerian Pendidikan menegaskan bahawa kementerian sentiasa bersiap sedia dan komited dalam menampung peningkatan permohonan kemasukan prasekolah bagi memastikan setiap kanak-kanak memperoleh akses pendidikan awal yang berkualiti sebelum memasuki Tahun 1.
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, pembukaan kelas prasekolah baharu dilaksanakan secara terancang dan berperingkat berdasarkan keperluan sebenar sesuatu kawasan. Usaha ini merangkumi dua pendekatan utama iaitu pewujudan kelas prasekolah di institusi pendidikan sedia ada di bawah KPM serta pembukaan kelas baharu di kawasan yang masih mempunyai akses terhad kepada pendidikan prasekolah, khususnya di kawasan luar bandar dan berkeperluan tinggi.
Setakat 31 Mei 2026, KPM telah mengoperasikan 10,491 kelas prasekolah di seluruh negara, memberi manfaat kepada 217,026 orang murid.
Timbalan Menteri Pendidikan - Tuan Wong Kah Woh
Penentuan lokasi pembukaan dan perluasan kelas tidak dibuat secara ad hoc tetapi berasaskan penilaian menyeluruh terhadap beberapa faktor kritikal iaitu bilangan kanak-kanak dalam lingkungan umur yang layak, permintaan setempat, kapasiti kegunaan sedia ada, jarak ke institusi pendidikan awal kanak-kanak berhampiran, kesesuaian prasarana serta unjuran enrolmen dan perkembangan kawasan.
Dalam konteks kesediaan tenaga pengajar, KPM memastikan pengisian dan juga penempatan guru dibuat dengan teratur di seluruh negara dan sepanjang tahun 2023 sehingga 2025, seramai 1,202 orang guru prasekolah baharu telah pun ditempatkan dan sehingga 1 Julai 2026, jumlah guru prasekolah adalah seramai 10,478 orang bersamaan dengan kadar pengisian 99.8 peratus daripada keperluan keseluruhan.
Pengambilan guru tambahan turut dirancang secara berfasa dan sistematik selaras dengan unjuran peningkatan enrolmen di setiap kawasan bagi memastikan nisbah guru, murid kekal optimum.
Bagi memastikan kualiti pengajaran dan pembelajaran prasekolah terus relevan, KPM turut memperkukuhkan program latihan pra perkhidmatan dan dalam perkhidmatan bagi guru prasekolah bagi memastikan mereka mempunyai kelayakan serta kompetensi yang selaras dengan standard pendidikan awal kanak-kanak.
Latihan ini secara langsung menyokong penyediaan kemudahan pembelajaran yang berkualiti di setiap kelas prasekolah yang sedang beroperasi. Sekian, terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato' Mohd Nor
Silakan Yang Berhormat Baling, soalan tambahan.
Tuan Hassan bin Saad - Baling
Soalan tambahan saya, berapakah jumlah kanak-kanak yang gagal mendapat tempat di prasekolah KPM bagi sesi terkini mengikut negeri dan adakah kementerian bersedia menetapkan sasaran serta tempoh masa yang jelas untuk memastikan setiap kanak-kanak yang layak mendapat akses kepada pendidikan prasekolah kerajaan?
Juga, apakah tindakan kementerian kepada kanak-kanak yang berumur enam tahun yang tidak memasuki prasekolah ataupun mulai darjah satu? Terima kasih.
Beberapa Ahli
[Bangun]
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato' Mohd Nor
Silakan Yang Berhormat Menteri untuk menjawab.
Tuan Wong Kah Woh
Okey, terima kasih soalan tambahan daripada Yang Berhormat Baling, dua soalan tambahan. Nombor satu berkenaan dengan anak- anak prasekolah ataupun yang telah pun memohon memasuki prasekolah tetapi tidak mendapat tempat. Untuk angka ataupun data yang tepat, izinkan saya Dato’ Yang di-Pertua untuk memberikan jawapan secara bertulis.
Namun demikian, cara ataupun pendekatan yang diguna pakai oleh KPM bagi menentusahkan siapa yang layak untuk dimasuki ke mana-mana prasekolah, kita mengikut kategori pendapatan keluarga masing-masing iaitu peluang dan ruang diberikan— keutamaan diberikan, terutamanya kepada keluarga-keluarga golongan B40.
Tapi, apa pun apabila kita sebut berkenaan dengan akses pendidikan kepada pendidikan prasekolah yang berkualiti dan juga percuma. Sememangnya sejak tahun 2023, usaha daripada KPM untuk memperluaskan prasekolah telah pun kita nampak hasil. Saya bagi contoh pada tahun 2022, sebelum Kerajaan MADANI mengambil alih pemerintahan, jumlah prasekolah yang diperluaskan pada tahun itu hanya 75 buah kelas prasekolah sahaja.
Tetap, setiap tahun selepas Kerajaan MADANI mengambil alih, kita menambahkan perluasan tersebut. Tahun 2023, 119 kelas. 2024, 135 kelas. 2025, 161 kelas. 2026, 325 kelas dan pada tahun hadapan, kita menyasarkan 300 lagi perluasan kelas prasekolah untuk memberikan akses yang lebih. Jumlahnya dalam lima tahun ini yang disasarkan yang telah pun dibuka dan dijangka dibuka adalah pada angka 1,040 kelas.
Berkaitan dengan soalan kedua iaitu kanak-kanak berumur enam tahun yang tidak mempunyai peluang. Apakah pendekatan kita untuk memastikan anak-anak ini diberikan peluang. Nombor satu, kita seperti yang kita sebut kita melaksanakan perluasan prasekolah di peringkat KPM dengan agresif dengan lebih banyak. Itu satu.
Nombor dua, pihak KPM turut dengan kerjasama daripada JPNIN, daripada KEMAS untuk memperluaskan lagi peluang pendidikan prasekolah. Dan kita akan teruskan usaha ini bukan sahaja di peringkat KPM, ini sebagai peringkat utama tetapi pada masa yang sama dengan kerjasama daripada agensi-agensi kerajaan yang lain. Terima kasih Dato’ Yang di-Pertua.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato' Mohd Nor
Terima kasih, Menteri. Silakan Yang Berhormat Semporna.
Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie bin Apdal - Semporna
Terima kasih Dato’ Speaker memberi ruang kepada saya untuk bertanya tentang kesiapsiagaan Kementerian Pendidikan menampung kemasukan bukan setakat prasekolah, bahkan juga anak-anak kita di peringkat sekolah.
Kementerian Pendidikan merupakan di antara kementerian yang mendapat peruntukan yang begitu banyak, besar, more than RM50 billion saya ingat dalam tahun lalu, tahun ini pun. Dan saya ingin bertanya kepada Yang Berhormat kesiapsiagaan ini tentang apa yang berlaku di kawasan saya sendiri, SMK Kabogan II menumpang. Saya ingat satu-satu sekolah di negara Malaysia yang menumpang di sekolah Sekolah Kebangsaan SK Bubul II Semporna.
Dan bayangkan keadaan ini dah pun diluluskan dalam Rancangan Malaysia Kedua Belas. Saya nak sebut, SMK Panglima Abdullah Rancangan Malaysia Kedua Belas, SMK Bugaya Rancangan Malaysia Kedua Belas, SK Egang-Egang, SK Hampalan. Tapi, malangnya sampai setakat ini dan kebimbangan saya, contohnya di SMK Panglima Abdullah yang dah diluluskan dalam Rancangan Malaysia Kedua, gempa bumi baru-baru ini 8 Jun yang berlaku di Sabah.
Gegaran itu dan saya yakin bila saya buat lawatan sekolah ini tidak lagi dalam keadaan selamat yang boleh dihuni oleh pelajar-pelajar yang ada. So, where is keutamaan kita? Bukan setakat prasekolah. Sedang pun dah diluluskan, anak-anak kita begitu jauh daif untuk mendapat sistem bukan setakat pendidikan dari tenaga guru, apa lagi dari segi prasarana yang ada.
Where is the needs and the priorities given by the Ministry of Education dengan izin untuk membolehkan supaya rakyat Malaysia yang ada, khususnya di luar bandar ini akan dapat dilihat secara the commitment is total, bukan hanya bicara, janji, lulus tapi malangnya saya bimbang— peruntukan bukan tidak ada, dah diluluskan dah, Rancangan Malaysia Kedua Belas, yang where it is now? Saya bimbang bila berlaku runtuhan lagi, gempa bumi yang berlaku dan kematian, kecederaan anak-anak kita, kita tunggu sampai berlaku. It is really a very serious kalau ia berlaku. Cuma yang saya bimbang tadi Sekolah Kabogan II menumpang Dato’ Speaker, menumpang sekolah menengah di peringkat sekolah rendah yang berlainan dan bayangkan pendidik guru-guru pun dalam keadaan yang agak bukan mudah nak mereka masuk kelas, sekolah ini lain, sekolah ini lain, pelajar ini lain di peringkat sekolah rendah, sekolah menengah.
I mean can’t you see the problem? Are you going to the ground untuk melihat mana sistem pendidikan negara kita untuk kita dapat lahirkan human capital yang mampu untuk menangani masalah keperluan negara kita? Terima kasih banyak.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato' Mohd Nor
Silakan, Menteri.
Tuan Wong Kah Woh
Terima kasih, soalan tambahan daripada Yang Berhormat Semporna. Sebenarnya, apabila disebut berkenaan dengan sekolah menumpang ini bukan satu atau dua sekolah. Kita ada sekolah-sekolah yang terpaksa menumpang di premis sekolah yang lain akibat daripada faktor-faktor yang berlainan. Mungkin dari segi sekolah baharu belum lagi disiapkan. Itu satu.
Nombor dua, apabila sekolah asal oleh sekolah tersebut adalah menjadi tidak selamat digunakan. Maka, kita menumpangkan sekolah itu di satu-satu sekolah di premis yang lain.
Tetapi, sekolah menumpang itu tidak bermaksud kita akan menumpang selama-lamanya. Apa pendekatan yang kita sebut seperti Yang Berhormat Semporna tadi sebut adalah berkenaan dengan kelulusan yang telah pun diberikan.
Dan saya mengambil perhatian berkenaan dengan isu yang dibangkitkan.
Dan berkenaan dengan setiap satu sekolah, apakah status dia. Izinkan saya juga untuk memberikan jawapan secara bertulis supaya saya boleh memberikan satu status yang lebih tepat.
Untuk makluman Ahli-ahli Yang Berhormat dalam Dewan ini, kesemua projek di bawah KPM ada yang dilaksanakan pada dulunya, ada yang dilaksanakan oleh kementerian sendiri.
Tuan Wong Kah Woh
Dan sekarang kebanyakan projek ataupun semua projek sama ada dilaksanakan oleh JKR Malaysia ataupun JKR Sabah dan Sarawak. Tapi walau bagaimanapun walaupun pelaksanaannya adalah dengan agensi-agensi pelaksana seperti JKR dan juga JKR Malaysia dan JKR Sabah dan Sarawak. KPM selalu ada perbincangan, ada mesyuarat dengan ke semua agensi ini untuk pastikan projek- projek ini dapat dilaksanakan dengan sempurna.
So, mesyuarat diadakan di peringkat Dato’ KSU dan juga di peringkat dan juga di peringkat Yang Berhormat Menteri juga ada. So, kita ada pendekatan untuk pemantauan sebegini.
[Timbalan Yang di-Pertua (Puan Alice Lau Kiong Yieng) **mempengerusikan Mesyuarat****] Dan apabila kita sebut tadi, saya tertarik dengan apa Yang Berhormat Semporna ada sebut berkenaan dengan apa yang kita janji dan kita hendak tunaikan.
Sudah tentu apabila Kementerian Pendidikan kita tahu setiap tahun peruntukan yang diluluskan dalam belanjawan adalah yang paling tinggi antara ke semua kementerian dan kita delivered dengan izin.
Kita memastikan bahawa peruntukan itu digunakan dengan sebaik yang mungkin. Komitmen daripada Kementerian Pendidikan saya hendak sebut di sini rakan-rakan Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, saya nak bagi contoh pembinaan sekolah baharu. Tahun 2022, sembilan buah sekolah baharu, 2023 sembilan buah sekolah baharu tapi dalam masa tiga tahun kebelakangan ini 2024, 26 buah sekolah baharu, 2025; 44 buah sekolah baharu, 2026; 38 sekolah baharu.
Ini menunjukkan komitmen daripada kementerian dan Kerajaan MADANI untuk membangunkan fasiliti yang mencukupi kepada anak-anak kita dan dalam bidang pendidikan. Terima kasih Puan Yang di-Pertua.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Terima kasih.
Soalan nombor 5 Yang Berhormat Pekan tak ada dalam Dewan jadi saya jemput Tuan Afnan Hamimi bin Dato’ Haji Taib Azamudden, Alor Setar.
[Soalan No. 5 – YB. Dato’ Sri Sh Mohmed Puzi bin Sh Ali (Pekan) tidak hadir]
Tuan Afnan Hamimi bin Dato’ Haji Taib Azamudden - Alor Setar
Terima kasih Puan Yang di-Pertua. Saya tadi buat pantun untuk Dato’ Yang di-Pertua. Tapi tak apalah, saya bagi jugalah.
Muka garang misai menawan, Soalan 6 pohon jawapan. Terima kasih.
6. Tuan Afnan Hamimi bin Dato' Haji Taib Azamudden [Alor Setar] minta Menteri Belia dan Sukan menyatakan senarai program dan aktiviti yang telah dan akan dilaksanakan di Alor Setar sejak Januari 2026 serta nyatakan jumlah perbelanjaan dan agensi pelaksananya.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan - Tuan Mordi anak Bimol
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Terima kasih kepada Yang Berhormat. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, pada tahun 2026 Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melalui Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kedah, JBS Negeri Kedah telah merancang dan melaksanakan sebanyak 250 program pembangunan belia dan sukan untuk negeri Kedah ya.
Sehingga Jun 2026, sebanyak 12 program daripada 20 program di Alor Setar telah dilaksanakan meliputi inisiatif pembangunan belia, kesukarelawanan, gaya hidup sihat, pembangunan komuniti dan sukan seperti sambutan Festival Belia @ Hari Belia Negara Peringkat Negeri Kedah, Anugerah Perdana Belia Negeri Peringkat Negeri Kedah, Liga Sukan Komuniti Peringkat Daerah Kota Setar, program sukan baharu floorball, kelas renang Kota Setar serta beberapa program di bawah inisiatif Rakan Muda.
Manakala baki 8 program lagi akan dilaksanakan sebelum berakhirnya tahun 2026. Tuan Yang di-Pertua, program-program ini dilaksanakan dengan kerjasama pelbagai agensi di peringkat persekutuan, negeri dan daerah. Antaranya adalah Jabatan Kesihatan Negeri Kedah, Pejabat Kesihatan Daerah, Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Persatuan Jurulatih Rekreasi Malaysia, Majlis Belia Negeri, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pihak berkuasa tempatan serta syarikat berkaitan kerajaan GLC ya.
Jadi jumlah keseluruhan peruntukan bagi 20 program pembangunan belia dan sukan di Alor Setar adalah sebanyak RM383,475 merangkumi pelaksanaan di peringkat daerah yang memberi fokus kepada pembangunan potensi belia secara holistik, inklusif serta berimpak tinggi. Sekian, terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Alor Setar.
Tuan Afnan Hamimi bin Dato’ Haji Taib Azamudden - Alor Setar
Terima kasih Puan Yang di-Pertua. Terima kasih Yang Berhormat Timbalan Menteri sahabat saya. Saya mengalu-alukan program-program yang telah pun disebutkan tadi ada 20 program, 12 telah dilaksanakan. Soalannya ialah di Alor Setar ini ada lebih kurang 28 peratus belia daripada jumlah penduduk menyamai lebih kurang 33,000 ini berdasarkan data DOSM.
Adakah pihak kementerian pernah membuat bancian daripada 33 peratus belia ini berapa yang telah mengikuti program KBS itu supaya tidak ada belia yang tercicir daripada program-program yang KBS telah laksanakan sebelum daripada ini.
Yang kedua ialah isu-isu utama yang melibatkan belia hari ini saya percaya Yang Berhormat Timbalan Menteri sangat peka kesihatan mental, ketagihan media sosial, jenayah siber dan berbagai-bagai isu lagi.
Apakah kayu ukur yang pihak kementerian sediakan supaya program- program ini bila belia datang dia boleh membantu menyelesaikan isu-isu utama dalam kalangan belia tadi supaya kita tidak hanya buat program itu untuk panggil kumpul ramai-ramai bercakap tak cukup setakat itu Yang Berhormat Timbalan Menteri. Dan akhir sekali, bila ada lagi 8 program yang hendak buat itu jemputlah Ahli Parlimen Alor Setar sekali, saya mengalu-alukan Yang Berhormat. Jadi, kita berkawan bukan bermusuh. Terima kasih Puan Yang di-Pertua.
Tuan Mordi anak Bimol
Terima kasih Yang Berhormat. Untuk pengetahuan Yang Berhormat, tentang pelaksanaan program di bawah Kementerian Belia dan Sukan, semua pelaksanaan program di seluruh negara adalah berteraskan tiga strategi utama iaitu perancangan tahunan kementerian iaitu bagi memastikan setiap program yang digerakkan adalah berpaksikan kepada pencapaian Petunjuk Prestasi Utama (KPI) nasional ya.
Dato’ Haji Adnan bin Haji Abu Hassan - Kuala Pilah
[Bangun]
Puan Syerleena binti Abdul Rashid - Bukit Bendera
[Bangun]
Tuan Mordi anak Bimol
Dan kedua adalah kerjasama strategik melibatkan kolaborasi mampan bersama Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kedah, agensi-agensi kerajaan yang berkaitan serta rakan strategik di peringkat akar umbi. Dan fokus berimpak tinggi dengan memberikan pendekatan khusus kepada penglibatan belia secara holisitk demi melahirkan impak positif jangka panjang kepada orang sekeliling.
Jadi, maksudnya di sini sememangnya sebelum kita melaksanakan program itu, kajian telah dilakukanlah, kita telah mengadakan banci untuk memastikan setiap program yang telah dilaksanakan sampai kepada akar umbi. Itu tujuan kita dan untuk soalan yang seterusnya tadi tentang apa ya isu tambahan belia. Kita ada banyak program untuk menghadapi belia dan untuk menyediakan belia hari ini untuk mempersiapkan belia hari ini supaya bersedia untuk menghadapi cabaran yang ada pada hari ini.
That’s why setiap program yang dilaksanakan, dirancangkan adalah berpaksikan kepada masalah-masalah belia hari ini. Ya, sekian terima kasih. And kalau Yang Berhormat ada cadangan atau input tambahan kepada kementerian, sila- silakanlah datang ya. Thank you.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Bukit Bendera.
Puan Syerleena binti Abdul Rashid - Bukit Bendera
Terima kasih Puan Speaker. Saya pun nak baca pantun.
*Kucing tidur atas riba, Bangun terus cari ikan; Jangan lupa balik undi, Biar masa depan penuh harapan.
[Tepuk]*
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Soalan.
Puan Syerleena binti Abdul Rashid - Bukit Bendera
Jadi, anak muda hari ini bukan sekadar mengharapkan ya peluang pekerjaan ataupun program pembangunan tetapi mereka mengharapkan kepimpinan yang mendengar, dasar- dasar yang inklusif dan juga sebuah negara yang benar-benar memahami aspirasi mereka.
Jadi soalan saya, apakah teras dan juga strategi Kementerian Belia dan Sukan dalam melaksanakan program-program pembangunan belia di seluruh negara dan khususnya program-program yang telah dilaksanakan untuk menyokong pembangunan dan juga pemerkasaan golongan belia autism dan juga belia yang berkeperluan khas. Terima kasih.
Tuan Mordi anak Bimol
Terima kasih Yang Berhormat Bukit Bendera.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Sudah itu izinkan saya menjawab pantun Bukit Bendera.
*Burung merpati terbang sekawan, Hinggap sebentar di hujung dahan; Pantun diberi penuh santunan, Rakyat memilih ikut pertimbangan.
[Tepuk]* Okey. KBS melaksanakan program seperti yang saya nyatakan tadi berdasarkan tiga strategi utama iaitu pertama, setiap program dirancang selaras ya dengan perancangan tahunan kementerian dan sasaran petunjuk prestasi utama.
Yang keduanya adalah KBS memperkukuh kerjasama dengan semua Jabatan Belia dan Sukan Negeri, agensi kerajaan dan rakan strategik di peringkat akar umbi.
Dan yang ketiga adalah KBS memberi tumpuan kepada program berimpak tinggi membangunkan potensi belia secara holistik. Dan bagi menyokong pembangunan penglibatan dan pemerkasaan belia autisme serta belia berkeperluan khas, KBS melalui Institusi Latihan Kemahiran Belia dan Sukan telah melaksanakan Program Latihan Kemahiran Inklusiviti Belia Autism dan Berkeperluan Khas secara rintis bermula tahun 2018.
Tiga program yang melibatkan bidang hospitaliti dan teknologi maklumat ditawarkan iaitu Rimau Cafe, Cullyventure dan MyIT crew. Ya untuk pengetahuan Yang Berhormat juga, program ini diperluas dengan menyasarkan penyertaan golongan belia minoriti dan belia terpinggir. Sehubungan dengan itu, sebanyak 10 program tambahan telah diperkenalkan di 10 ILKBS bermula tahun 2021 hingga 2024 bagi merealisasikan Dasar Belia Negara.
Dan sehingga tahun 2025 program ini telah memberi manfaat kepada 407 belia autisme dan berkeperluan khas melalui pelaksanaan 13 program iaitu 12 di ILKBS dan 1 di Menara KBS. Dan program ini bukan sahaja menyediakan latihan kemahiran teknikal malah memberi pengalaman pembelajaran dalam persekitaran kerja sebenar bagi meningkatkan keyakinan diri, kebolehpasaran dan peluang keusahawanan golongan belia autisme serta belia berkeperluan khas. Terima kasih Yang Berhormat.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Seterusnya soalan nombor 7. Yang Berhormat Tenggara tak ada dalam Dewan. Jadi saya jemput Tuan Haji Jamaludin bin Yahya, Pasir Salak.
[Soalan No. 7 – YB. Tuan Haji Manndzri bin Haji Nasib (Tenggara) tidak hadir]
Tuan Haji Jamaludin bin Yahya - Pasir Salak
Terima kasih Puan Yang di- Pertua.
Membajak sawah di Kampung Rincing, Padi dituai lalu disimpan; Mohon dijawab janganlah runsing, Soalan Pasir Salak nombor lapan.
8. Tuan Haji Jamaludin bin Yahya [Pasir Salak] minta Menteri Sumber Manusia menyatakan langkah memperluas latihan kemahiran dan padanan pekerjaan kepada belia Pasir Salak bagi mengurangkan penghijrahan keluar ke bandar besar.
Timbalan Menteri Sumber Manusia - Datuk Khairul Firdaus bin Akbar Khan
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Kementerian Sumber Manusia
(KESUMA,) sentiasa komited memperluas akses kepada latihan kemahiran dan peluang pekerjaan termasuk kepada belia di kawasan luar bandar seperti Pasir Salak.
Sehubungan dengan itu, antara langkah yang boleh dan sedang diperkukuhkan oleh KESUMA adalah seperti berikut. Pertama, memperluas akses kepada latihan dan pensijilan kemahiran bagi belia di Pasir Salak. Kemudahan ini disediakan melalui rangkaian 1,161 Pusat Bertauliah (PB), Sistem Latihan Bertauliah
(SLAPB) di seluruh negara, termasuk 157 PB di negeri Perak dan 6 PB di Pasir Salak.
Selain itu, belia juga boleh mengikuti program modular dan kursus pendek berasaskan National Occupational Skills Standard (NOSS) serta memperoleh pensijilan melalui Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu (PPT) bagi mereka yang mempunyai pengalaman kerja.
Di samping itu, Kolej Teknologi Termaju Jabatan Tenaga Manusia (ADTEC JTM), Kampus Ipoh sebagai institusi latihan di bawah KESUMA yang berhampiran turut menawarkan program dalam bidang seperti penyelenggaraan mekanikal, kimpalan, penyejukbekuan dan penyamanan udara serta elektrik bagi memenuhi kepenuhan industri dan meningkatkan peluang pekerjaan belia di Pasir Salak.
Kedua, memperkukuh latihan berasaskan industri melalui program Akademi Dalam Industri (ADI). Pada masa ini, terdapat 1,676 PB ADI di seluruh negara.
Termasuk 109 di negeri Perak dan dua di dalam Parlimen Pasir Salak. Program ini membolehkan belia menjalani latihan terus di premis industri berdasarkan keperluan sebenar majikan. Sekali gus meningkatkan kebolehpasaran dan peluang mereka mendapatkan pekerjaan di kawasan setempat.
Keutamaan diberikan kepada bidang yang menyokong potensi ekonomi tempatan seperti penyelenggaraan jentera pertanian, automasi asas, kimpalan, pendawaian elektrik, automotif, teknologi makanan, logistik, hospitaliti dan keusahawanan digital. Ketiga, memperkukuh permintaan keperluan kemahiran dan padanan pekerjaan di peringkat setempat.
KESUMA melalui JPK JTM dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) boleh bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Perak, pejabat daerah, pihak industri koperasi usahawan tani serta penyedia latihan bagi mengenal pasti keperluan tenaga kerja dan peluang pekerjaan di Pasir Salak serta kawasan sekitarnya.
Maklumat ini menjadi asas kepada perancangan program latihan yang menepati keperluan industri, manakala graduan yang menamatkan latihan akan dibantu mendapatkan pekerjaan yang bersesuaian melalui platform MYFutureJobs PERKESO. Sekali gus meningkatkan keboleh pasaran mereka dan menggalakkan mereka bekerja di kawasan setempat.
Sekian, terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Pasir Salak.
Tuan Haji Jamaludin bin Yahya - Pasir Salak
Terima kasih Puan Yang di- Pertua, terima kasih kepada Timbalan Menteri di atas jawapan yang begitu mantap.
Baik. Soalan tambahan Pasir Salak, Tuan Yang di-Pertua, latihan kemahiran sahaja tidak memadai jika peluang pekerjaan berkualiti tinggi masih tertumpu di bandar-bandar besar. Apakah langkah kementerian untuk memastikan program TVET dan latihan kemahiran diselaraskan dengan keperluan industri setempat di samping menyediakan insentif kepada syarikat supaya membuka lebih banyak pekerjaan berkemahiran tinggi di kawasan luar bandar seperti Pasir Salak sekali gus mengurangkan penghijrahan belia ke bandar?
Terima kasih.
Datuk Khairul Firdaus bin Akbar Khan
Terima kasih di atas soalan tambahan Yang Berhormat Pasir Salak. Bagaimanakah Jabatan Tenaga Manusia
(JTM) memperkukuh pelaksanaan program TVET bagi memastikan latihan kemahiran yang ditawarkan memenuhi keperluan industri semasa? Itulah persoalan yang telah dibangkitkan oleh Yang Berhormat Pasir Salak.
Bagi kita memastikan latihan kemahiran itu dapat diperluaskan dan yang paling utama sekali, adakah latihan ini memberikan pulangan pekerjaan kepada pelatih-pelatih yang mengikuti latihan ini, termasuklah di kawasan Pasir Salak? Ada tiga inti pati utama yang saya boleh perincikan di dalam Dewan yang mulia ini.
Pertama, kita ada menawarkan program latihan kemahiran sepenuh masa di 33 buah kampus ADTEC JTM termasuk dua kampus bertaraf satelit di seluruh negara yang memenuhi keperluan sektor ekonomi berimpak tinggi seperti elektrikal dan elektronik, automasi, teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI). Kedua, memperluaskan kerjasama strategik dengan pihak industri bagi memastikan latihan diberikan selari dengan keperluan semasa industri serta meningkatkan kebolehpasaran graduan.
Ketiga, menyediakan peluang peningkatan kemahiran (upskilling) dan latihan semula (reskilling) kepada belia dan pekerja bagi meningkatkan kompetensi serta kebolehpasaran mereka dalam pasaran kerja. Untuk makluman Dewan yang mulia ini, sehingga 31 Mei 2026, seramai 32,000 peserta telah mengikuti program upskilling dan reskilling yang dilaksanakan oleh JTM. Melalui program ini, ia secara jelas memberikan mereka peluang untuk mendapatkan peluang pekerjaan terutamanya industri-industri yang memerlukan mereka.
Itu sebabnya kita ada program memperkukuh latihan berasaskan industri melalui program Akademi Dalam Industri. Bermaksud, program ini dipelopori oleh industri-industri ilmu dan juga networking yang luar biasa supaya mereka boleh menempatkan para pelatih ke industri mereka. Kedua juga, kita ada portal MYFutureJobs. MYFutureJobs ini memainkan peranan yang begitu signifikan, kerana MYFutureJobs ini akan melakukan job matching untuk kita pastikan kelayakan, kita pastikan kemahiran itu bersesuaian dengan peluang pekerjaan yang ada di pasaran.
Sekian, terima kasih.
Tuan Afnan Hamimi bin Dato’ Haji Taib Azamudden - Alor Setar
Terima kasih. Sebab tak ada yang bangun bertanyalah, saya bangun bertanyalah, ambil kesempatan. Yang Berhormat Timbalan Menteri, mengenai isu penghijrahan keluar tenaga-tenaga sumber manusia ini, saya nak merujuk kepada isu yang pernah saya bangkitkan sebelum ini iaitu kekurangan tenaga sumber manusia di Kementerian Kesihatan, di hospital-hospital.
Apa rancangan pihak kementerian supaya tenaga sumber manusia di hospital ini mencukupi, walaupun ia di bawah bidang tugas KKM, tapi saya pasti, perlu ada gabung jalin antara semua kementerian supaya menyelesaikan isu utama tenaga sumber manusia di hospital-hospital kita di bawah Kementerian Kesihatan.
Ini penting Yang Berhormat, saya rasa Yang Berhormat tahu jawapan ini dan pandangan Yang Berhormat terhadap isu ini.
Terima kasih, Puan Yang di-Pertua.
Datuk Khairul Firdaus bin Akbar Khan
Terima kasih Yang Berhormat.
Soalan ini, soalan yang agak nakal. Kalau saya salah jawab, akan menjadi utama pada petang ini. Maka dengan itu, jawapannya mudah, pertama, soalan ini yang diajukan lari daripada soalan asal. [Ketawa] Kedua, soalan ini berkaitan KKM, namun begitu, kita akan pastikan apa bentuk sumber manusia sekalipun perlu ada kita lakukan perbincangan.
Itu sahaja yang mampu saya berikan pada pagi ini. Kerana saya tidak mahu nanti disalah tafsir. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Tuan Haji Abdul Latiff bin Abdul Rahman - Kuala Krai
Layak jadi Menteri.
[Ketawa]
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Saya jemput Tuan Tan Kok Wai, Cheras.
Tuan Tan Kok Wai - Cheras
Terima kasih. Soalan saya Nombor 9, Puan Yang di-Pertua.
9. Tuan Tan Kok Wai [Cheras] minta Menteri Pendidikan menyatakan jumlah serta kategori kanak-kanak yang berdaftar dengan ketidakupayaan pembelajaran di negara ini serta keadaan semasa sistem pendidikan khas dalam memenuhi keperluan pendidikan mereka.
Timbalan Menteri Pendidikan - Tuan Wong Kah Woh
Terima kasih Puan Yang di-Pertua. Terima kasih Yang Berhormat Cheras.
Puan Yang di-Pertua, sehingga 31 Mei 2026, seramai 161,891 orang murid berkeperluan pendidikan khas, telah berdaftar di institusi pendidikan KPM. Daripada jumlah tersebut, 141,545 orang berada dalam kategori masalah pembelajaran.
Pecahan jumlah murid berkeperluan pendidikan khas, masalah pembelajaran mengikut sub kategori adalah autisme seramai 53,169 orang, intelektual 39,254 orang, masalah pembelajaran spesifik 24,148 orang, attention deficit hyper activity disorder 13,337 orang, syndrome down 4,501 orang, lewat perkembangan global 3,741 orang dan lain-lain 3,395 orang.
Untuk maklumat Ahli Yang Berhormat, MPPK kategori masalah pembelajaran, boleh mengikuti pendidikan sama ada melalui program pendidikan khas di Sekolah Pendidikan Khas (PPKI) ataupun Program Pendidikan Inklusif (PPI).
Sehingga 31 Mei 2026, sebanyak 7,406 buah sekolah seluruh negara melaksanakan program pendidikan khas. Jumlah ini merangkumi 35 buah sekolah pendidikan khas, 2,907 sekolah yang melaksanakan PPKI, 4,406 buah melaksanakan PPI.
Timbalan Menteri Pendidikan - Tuan Wong Kah Woh
Secara amnya bagi menampung keperluan enrolmen MPPK yang semakin meningkat KPM melalui Rancangan Pendidikan Malaysia yang antaranya memfokuskan kepada pembangunan infrastruktur fizikal dan kebajikan MPPK. KPM telah diluluskan pembinaan lapan sekolah pendidikan khas baharu mulai RMK-11 iaitu RMK11 satu projek, RMK12 lima projek, RMK13 dua projek. Ini adalah untuk sekolah pendidikan khas baharu.
Selain itu, sepanjang tempoh RMK12 KPM juga telah diluluskan 80 projek pembinaan bangunan baharu ataupun tambahan bagi PPKI. Daripada jumlah tersebut lima projek telah siap sepenuhnya, 22 projek dalam fasa pembinaan manakala 53 projek dalam fasa pra bina. Melalui Belanjawan 2026 KPM turut telah diluluskan 38 projek pembangunan, bangunan tambahan pendidikan khas yang kini semua dalam fasa perbincangan.
KPM juga memanfaatkan sistem binaan IBS untuk mempercepatkan penyediaan, kemudahan infrastruktur. Melalui kaedah ini 40 bilik darjah PPKI di 10 sekolah telah dibina pada tahun 2025 kini telah pun beroperasi. Tahun 2026, kita menyasarkan 241 bilik darjah PPKI di 46 buah sekolah dan dijangka siap tahun ini dan sedia beroperasi pada tahun hadapan.
Berkenaan dengan keperluan pengisian guru pendidikan khas. Sehingga 9 Julai 2026 sebanyak 95.8 peratus jawatan guru pendidikan khas di seluruh negara telah pun diisi. Dan dari tahun 2023 sehingga 2026 bulan Julai seramai 1,055 orang guru pendidikan khas baharu telah berjaya mengisi kekosongan perjawatan pegawai perkhidmatan pendidikan DG9 di sekolah yang mana 664 merupakan guru pendidikan khas di sekolah rendah dan 391 orang guru pendidikan khas di sekolah menengah. Sekian, terima kasih Puan Yang di-Pertua.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Cheras.
Tuan Tan Kok Wai - Cheras
Terima kasih. Saya ingin tanya Yang Berhormat Timbalan Menteri apakah status semasa nisbah guru pendidikan khas kepada murid ketika ini? Dan saya juga difahamkan bahawa terdapat sekolah- sekolah yang telah memohon kepada kementerian untuk membuka kelas pendidikan khas yang belum diluluskan permohonan mereka. Apakah syarat-syarat yang perlu dipenuhi bagi membolehkan sesebuah sekolah menubuhkan kelas pendidikan khas?
Terima kasih.
Tuan Wong Kah Woh
Terima kasih Yang Berhormat Cheras atas soalan tambahan yang dikemukakan. Berkenaan dengan pembinaan ataupun perluasan kelas pendidikan khas ini ataupun lebih spesifik lagi kelas PPKI yang kita ada, pihak KPM mengambil maklum banyak sekolah ada mengemukakan permohonan. Antara syarat-syarat adalah nombor satu, terdapat permintaan.
Nombor dua, kita mempunyai fasiliti ataupun ruang untuk dijadikan sebagai kelas ataupun bilik darjah pendidikan khas dan ketiga yang paling penting adalah dari segi ketersediaan dari segi tenaga pengajar. Ketersediaan dari segi tenaga pengajar ini selalunya merupakan satu cabaran yang amat besar kerana sebelum ini kita nampak guru yang dilatih untuk menjadi guru pendidikan khas tak ramai tetapi pihak KPM sedang dalam usaha untuk meningkatkan penempatan guru pendidikan khas yang lebih, untuk melantik dan juga melatih lebih ramai guru pendidikan khas.
Nisbah dalam satu kelas PPKI yang kita ada sebolehnya seorang guru kepada tujuh orang murid tetapi kami juga mengambil maklum bahawa di Klang Valley khasnya di kawasan khasnya di Kuala Lumpur dan juga Selangor, nisbah ini adalah tidak dapat dicapai. Nisbah antara murid dan juga guru adalah amat tinggi.
Perkara-perkara ini telah pun ada dalam perhatian pihak KPM dan juga tindakan KPM.
Itu sebab kenapa setiap tahun apabila dalam usaha pengambilan latihan guru bagi pendidikan khas semakin meningkat setiap tahun. Saya boleh bagi sedikit data di sini yang mana unjuran ambilan latihan PISMP iaitu latihan guru pendidikan khas bagi tahun 2020 sehingga 2025.
| TAHUN | JUMLAH |
|---|---|
| 2020 | 115 orang |
| 2021 | 180 orang |
| 2022 | 90 orang |
| 2023 | 100 orang |
| 2024 | 194 orang |
| 2025 | 460 orang |
Ini memaparkan komitmen KPM untuk melatih lebih ramai guru pendidikan khas pada masa hadapan.
Pada masa yang sama juga, pihak KPM ada menyediakan rancangan ataupun kursus jangka masa pendek untuk kita mengenal pasti guru-guru kita di peringkat arus perdana supaya kita memberikan latihan kepada guru-guru ini untuk menjadi guru di peringkat sekolah ataupun di kelas ataupun program PPKI. Ini merupakan satu pendekatan yang penting untuk memastikan kita mempunyai guru yang mencukupi bagi kita memperluaskan lagi program PPKI kita ke sekolah-sekolah yang memerlukan. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Kuala Krau.
Tuan Haji Kamal bin Ashaari - Kuala Krau
Terima kasih Yang di-Pertua.
Dalam pengumuman kementerian ada 1,293 guru pendidikan khas di seluruh negara. Namun berdasarkan data negeri Pahang terdapat hanya 1,262 guru pendidikan khas yang mengendalikan 98 sekolah pendidikan khas dan 860 kelas pendidikan khas iaitu 502 di peringkat dan 358 di peringkat menengah.
Walaupun baru ini telah dihantar 75 guru di negeri Pahang namun masih kekurangan sekitar 98 bilangan guru di negeri Pahang untuk pendidikan khas ini.
Jadi, sejauh mana kerajaan melihat keperluan ataupun jangka panjang, jangka masa untuk memenuhi keperluan itu?
Kedua, dengan penambahan bilangan murid keperluan pendidikan khas saban tahun ini adakah kementerian masih berpendirian bahawa Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) ini sahaja yang mampu menampung keperluan masa depan atau adakah kerajaan mempunyai perancangan yang lebih jelas untuk menubuhkan lebih banyak sekolah pendidikan khas di kawasan keperluan tinggi bagi keperluan mengurangkan kesesakan kelas? Terima kasih.
Tuan Wong Kah Woh
Terima kasih Yang Berhormat Kuala Krau atas soalan tambahan yang telah pun dikemukakan tadi. Sudah tentu nombor satu, berkenaan dengan latihan ataupun bekalan guru pendidikan khas kita, tadi saya sudah sebut bahawa unjuran ataupun pengambilan bagi calon-calon PISMP di peringkat IPG telah pun bertambah dengan amat besar pada tahun 2025. Ini menunjukkan komitmen kita untuk sediakan guru yang mencukupi dalam masa lima tahun yang akan datang.
Berkenaan dengan penempatan guru-guru kita, sama ada guru pendidikan khas ataupun guru-guru dengan opsyen yang lain ke mana-mana negeri pun kita akan memberikan keutamaan kepada calon-calon ataupun calon-calon guru kita yang ada dan berasal dari negeri yang sama bergantung kepada kekosongan opsyen yang ada.
Apabila kita dalam usaha untuk memastikan kita boleh dapat, boleh melatih lebih ramai guru pendidikan khas, saya juga menyeru supaya rakan-rakan dan juga Ahli-ahli Yang Berhormat membantu kita untuk menguar-uarkan dan juga untuk memberikan kesedaran yang lebih tinggi kepada masyarakat kita kepada anak-anak kita.
Kepada betapa pentingnya untuk kita menceburi diri sebagai seorang guru pendidikan khas kerana daripada statistik yang saya ada dengan IPGM, setiap tahun permohonan untuk kemasukan menjadi guru dalam bidang opsyen pendidikan khas ini adalah rendah. Ini merupakan sesuatu yang kita perlu melaksanakan satu pendekatan whole-of-society approach untuk menjayakan dan untuk membantu kita dalam memastikan kita mempunyai guru yang mencukupi.
Tadi Yang Berhormat Kuala Krau juga ada sebut berkenaan dengan sama ada hala tuju kita lebih fokus kepada PPKI. Jawapannya tidak. Kita ada tiga laluan untuk anak-anak pendidikan khas kita. Sekolah pendidikan khas, PPKI dan juga program pendidikan inklusif. Program pendidikan inklusif yang mana anak-anak duduk dalam Kelas Arus Perdana, PPKI, kita ada program kelas yang berasingan yang pada suatu hari nanti kita berharap mereka boleh masuk ke kelas aliran perdana dan juga kita ada sekolah pendidikan khas.
Tuan Wong Kah Woh
Seperti saya sebut juga dalam tiga Rancangan Malaysia kebelakangan ini.
RMK11, kita ada satu buah sekolah pendidikan khas baharu sahaja diluluskan tetapi RMK12, kita mempunyai lima buah, dan RMK13, baru kita berada di peringkat RP1.
Sudah dua sekolah pendidikan khas baharu telah pun diluluskan. Saya percaya bahawa apabila PMX mengumumkan belanjawan pada tahun hadapan, pembinaan sekolah pendidikan khas baharu turut akan dijadikan fokus dan diberikan keutamaan.
Terima kasih, Puan Yang di-Pertua.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Saya jemput Tuan Haji Mohd Hasnizan bin Harun, Hulu Selangor.
Tuan Haji Mohd Hasnizan bin Harun - Hulu Selangor
Terima kasih Puan Yang di-Pertua. Soalan saya nombor 10.
10. Tuan Haji Mohd Hasnizan bin Harun [Hulu Selangor] minta Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air menyatakan langkah bagi memperluaskan program SuRIA Home ke lebih banyak kawasan termasuk luar bandar dan daerah berpenduduk padat serta bentuk kerjasama dengan kerajaan negeri dan PBT bagi membolehkan lebih ramai rakyat memasang sistem solar bumbung kediaman.
Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air - Dato’ Sri Haji Abdul Rahman bin Haji Mohamad
Terima kasih Yang Berhormat Yang di-Pertua.
Terima kasih Yang Berhormat Hulu Selangor.
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, kerajaan melalui Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) komited untuk memastikan manfaat peralihan tenaga negara dapat dinikmati secara menyeluruh oleh rakyat termasuk pengguna di kawasan bandar, luar bandar serta kawasan berkepadatan penduduk tinggi melalui peluasan penggunaan sistem solar fotovoltaik PV bumbung kediaman.
Inisiatif SuRIA Home di bawak Program Solar ATAP merupakan inisiatif kerajaan untuk menggalakkan penyertaan penggunaan domestik dalam penjanaan tenaga boleh baharu (TBB). Program ini tidak dihadkan kepada kawasan tertentu, sebaliknya terbuka kepada semua pengguna domestik yang memenuhi kriteria kelayakan termasuk pengguna di kawasan luar bandar dan daerah berkepadatan tinggi.
Melalui program SuRIA Home, kerajaan telah menyediakan peruntukan sebanyak RM150 juta dalam bentuk rebate kepada pengguna domestik yang memasang sistem solar bumbung. Pengguna yang layak boleh menerima rebate sehingga RM600 bagi setiap satu kilowatt pemasangan solar sehingga maksimum RM3,000, bersamaan lima kilowatt.
Pelaksanaan program ini adalah berdasarkan prinsip “first come, first served”, sehingga 31 Disember 2026 atau sehingga kuota 250 megawatt dipenuhi, yang mana terdahulu dengan menyasarkan antara 45,000 sehingga 50,000 rumah kediaman akan menerima manfaat pemasangan solar bumbung.
Objektif utama pelaksanaan program SuRIA Home adalah untuk mengurangkan kos permulaan pemasangan solar kepada rakyat, memperkukuhkan konsep pengguna sebagai penjana tenaga serta menggalakkan pengguna tenaga yang jana sendiri bagi mengurangkan kebergantungan terhadap bekalan elektrik daripada Grid Nasional.
Usaha memperluaskan penyertaan rakyat, PETRA melalui agensi berkaitan akan terus memperkukuhkan aktiviti hebahan dan kesedaran awam dengan kerjasama kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan serta pihak berkepentingan.
Kerjasama ini termasuk pelaksanaan program penerangan, penyebaran maklumat berkaitan manfaat pemasangan solar serta meningkatkan kefahaman rakyat mengenai mekanisme dan kelayakan penyertaan program Solar ATAP.
Selain itu, kerajaan negeri dan PBT juga memainkan peranan penting sebagai pemudah cara dalam menyokong pembangunan ekosistem solar setempat termasuk menggalakkan penggunaan tenaga boleh baharu di kawasan komuniti serta memastikan proses berkaitan pemasangan solar dapat dilaksanakan dengan lebih lancar, selaras dengan bidang kuasa masing-masing.
PETRA akan terus memantau pelaksanaan program SuRIA Home dan menilai pendekatan yang bersesuaian bagi meningkatkan penyertaan rakyat dalam penggunaan solar bumbung. Usaha ini adalah selaras dengan aspirasi negara untuk meningkatkan tenaga boleh baharu kepada 70 peratus menjelang tahun 2050, di samping memastikan pelan tenaga dilaksanakan secara inklusif dan memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat. Terima kasih Yang Berhormat di- Pertua.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Hulu Selangor.
Tuan Haji Mohd Hasnizan bin Harun - Hulu Selangor
Terima kasih, Puan Yang di-Pertua. Terima kasih YB Timbalan Menteri di atas penjelasan. Sepertimana yang kita sedia maklum, bahawa kos untuk pemasangan solar ini bukanlah satu kos yang murah, agak tinggi dan untuk mendapatkan return balik itu pun memakan masa yang panjang.
Jadi, ia bukan sahaja untuk digunakan di rumah, masjid, surau dan sebagainya. Jadi, soalan saya, adakah kementerian bercadang memperkenalkan skim pembiayaan mudah atau model sewaan solar supaya SuRIA Home ini boleh digunakan oleh semua orang? Tak kisahlah sama ada orang itu memang T20 ataupun yang berpendapatan rendah. Terima kasih.
Dato’ Sri Haji Abdul Rahman bin Haji Mohamad
Yang Berhormat Yang di- Pertua, Yang Berhormat Hulu Selangor.
Untuk makluman Yang Berhormat, sebab itu kita hanya memberi inisiatif rebate yang saya nyatakan tadi, RM600 bagi setiap satu kilowatt dan pemasangan solar PV, maksimum RM3,000 yang saya nyatakan tadi dan pemasangan untuk lima kilowatt. Setakat hari ini, apa yang dinyatakan oleh Yang Berhormat sebentar tadi, kita masih belum ada menyediakan perkhidmatan untuk penyewaan tetapi walau bagaimanapun, saya mengambil contoh Yang Berhormat Yang di-Pertua, di Pahang.
Di Pahang, kita bina rumah, rumah, rumah— saya lupa pula apa nama rumah tapi pemaju tersebut terus menyediakan solar.
Umpamanya PR1MA Pahang menyediakan terus rumah tersebut. Sekiranya rumah tersebut RM150,000 akan diletakkan RM10,000 jadi RM160,000, maka rumah tersebut dimasuk dalam pinjaman terus. Ertinya ini adalah juga salah satu inisiatif boleh dimainkan peranan oleh kerajaan negeri. Terima kasih Yang Berhormat di- Pertua.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Soalan nombor 11, Yang Berhormat Batang Sadong tak ada dalam Dewan. Jadi, saya jemput Puan Hajah Salamiah binti Mohd Nor, Temerloh.
[Soalan No.11 – YB. Puan Rodiyah binti Sapiee (Batang Sadong) tidak hadir]
Puan Hajah Salamiah binti Mohd Nor - Temerloh
Okey, terima kasih, Speaker. Sebelum itu saya ingin mengalu-alukan kehadiran warga belia Sabah dari Kota Kinabalu, Papar, Sabah.
[Tepuk] Mereka merupakan tetamu Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup terima kasih. Jadi soalan saya nombor 12 untuk Menteri Pendidikan.
Terima kasih.
12. Puan Hajah Salamiah binti Mohd Nor [Temerloh] minta Menteri Pendidikan menyatakan apakah langkah konkrit bagi mengatasi isu penempatan guru yang masih tidak selesai dalam keadaan sekolah masih kekurangan guru.
Timbalan Menteri Pendidikan - Tuan Wong Kah Woh
Terima kasih.
Soalan daripada Yang Berhormat Temerloh. Dengan izin, Puan Yang di-Pertua, Kementerian Pendidikan sentiasa memberi perhatian terhadap perkara berkaitan pengisian guru dan keseimbangan dalam membuat taburan agihan guru baharu di seluruh negara bagi memastikan pengajaran dan pembelajaran di sekolah dapat dilaksanakan dengan berkesan.
Untuk maklumat Ahli Yang Berhormat, berdasarkan pengisian guru semasa, jumlah guru berkhidmat adalah seramai 422,325 orang dengan kadar pengisian sebanyak 98 peratus. Peratus pengisian ini adalah selaras dengan penetapan pengisian oleh agensi Pusat. Sehingga Jun 2026, KPM telah berjaya menempatkan seramai 8,042 orang guru baharu bagi memenuhi kekosongan jawatan serta keperluan opsyen di sekolah rendah dan menengah seluruh negara.
Penempatan ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan KPM untuk memastikan keperluan tenaga pengajar dapat dipenuhi secara optimum.
Kementerian juga akan menerima bekalan seramai 5,829 calon Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) dan seramai 2,633 orang calon simpanan yang akan ditempatkan di sekolah pada bulan September 2026.
Selain daripada itu, seramai 549 pelajar Program Diploma Pascasiswazah Pendidikan Perdana akan tamat pada bulan Oktober 2026 dan dijangka akan ditempatkan pada bulan Januari 2027. Selain itu, SPP sedang melaksanakan urusan temu duga bagi urusan pengambilan guru tahun 2026 dalam pasaran terbuka, bermula pada bulan Mei 2026 dan dijangka tamat pada bulan Oktober 2026.
Untuk maklumat Ahli Yang Berhormat juga, KPM sentiasa komited menangani isu pengisian guru di samping memastikan kesejahteraan guru terpelihara. Beberapa langkah proaktif telah pun diambil bagi mengatasi, bagi menangani isu pengisian guru. Nombor satu, urusan pengambilan guru tetap sebanyak dua kali setahun. Sistem permohonan guru melalui portal MySPP dibuka sepanjang tahun.
Perluasan kluster mata pelajaran bagi membolehkan lebih ramai calon berpotensi dilantik sebagai guru. Nombor empat, pengambilan guru diperluaskan kepada graduan-graduan berpotensi tinggi dari universiti swasta dan universiti luar negara. Walau bagaimanapun keutamaan diberikan kepada graduan dari universiti awam.
Timbalan Menteri Pendidikan - Tuan Wong Kah Woh
Nombor lima, pelantikan guru secara COS dalam kalangan graduan yang tidak mempunyai ikhtisas pendidikan.
Sekian, terima kasih, Puan Yang di-Pertua.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Yang Berhormat, sekarang tamatlah sesi untuk Pertanyaan-pertanyaan bagi Jawab Lisan.
[Sesi Pertanyaan-pertanyaan bagi Jawab Lisan tamat]
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Ahli-ahli Yang Berhormat, saya menjemput Yang Berhormat Ampang, Ahli Jawatankuasa Pilihan Wanita, Kanak-kanak dan Pembangunan Masyarakat memberi penerangan berkenaan penyata bertajuk, Penambahbaikan Perkhidmatan Bersepadu One Stop Crisis Center (OSCC) di Malaysia.
Puan Hajah Rodziah binti Ismail - Ampang
Terima kasih Dato’ Yang di- Pertua. *Bismillahirrahmanirrahim.
[Membaca sepotong doa] Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh* dan salam sejahtera.
Jawatankuasa Pilihan Wanita, Kanak-kanak dan Pembangunan Masyarakat telah membentangkan satu penyata penambahbaikan perkhidmatan krisis bersepadu ataupun dikenali sebagai One Stop Crisis Center, di Malaysia pada 8 Julai 2026 dan pada hari ini saya selaku Naib Pengerusi Jawatankuasa ini ingin membuat penerangan berkaitan penyata tersebut.
Terlebih dahulu, saya ingin merakamkan penghargaan kepada ahli-ahli jawatankuasa serta pihak yang telah pun memberikan kerjasama kepada Jawatankuasa Pilihan Wanita, Kanak-kanak dan Pembangunan Masyarakat dalam penelitian berhubungan pernyataan ini.
Mungkin ramai yang tidak memahami ataupun tidak pernah menggarap apakah sebenarnya OSCC ini. Ramai yang mungkin merasakan kenapa penyata ini perlu dibentangkan. Sebenarnya Jawatankuasa Pilihan Wanita, Kanak-kanak dan Pembangunan Masyarakat berpandangan perkara ini perlu dibawa atau diketengahkan memandangkan Dewan ini tidak cukup semata-mata memperuntukkan undang-undang bagi melindungi mangsa-mangsa, khususnya mangsa-mangsa keganasan rumah tangga dan sebagainya, tetapi satu advokasi dan kemudahan kepada rakyat perlu diteliti juga bagi menangani perkara-perkara ini.
Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, jawatankuasa ini juga telah melaksanakan tujuh lawatan. Maknanya sekadar kita mendengar pelaporan tetapi tidak turun ke bawah, ia tidak memadai. Oleh itu, jawatankuasa telah pun melihat sendiri, turun memilih beberapa hospital di seluruh Malaysia. Satu di bahagian tengah, utara, selatan, timur, barat, hatta ke Sarawak.
Daripada 140 OSCC yang telah ada di hospital, kita telah pun melawat Hospital Putrajaya, Hospital Umum Sarawak, Hospital Raja Perempuan Zainab II Kota Bharu, Hospital Bukit Mertajam Pulau Pinang, OSCC Hospital Kuala Lumpur, OSCC Hospital Tunku Azizah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan OSCC Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru.
Izinkan saya untuk memperjelaskan apa signifikan isu ini dibangkitkan dan difahami oleh Yang Berhormat sekalian.
OSCC ini merupakan satu mekanisme penting negara dalam memberikan respons awal kepada mangsa keganasan khususnya kes-kes keganasan rumah tangga, penderaan kanak-kanak, keganasan seksual, penderaan fizikal, pengabaian serta kes-kes yang memerlukan rawatan perubatan. Kita dah ada rang undang- undang iaitu rang undang-undang di bawah Akta 521 iaitu Akta Keganasan Rumah Tangga dan juga Akta Kanak-kanak 2001, tetapi ia tidak memadai dengan kita hanya meletakkan undang-undang tetapi persoalan besarnya kadang-kadang mangsa- mangsa ini tidak dapat pembelaan segera.
Oleh itu, dengan wujudnya OSCC ini, Jawatankuasa berpandangan ia tidak boleh hanya dilihat OSCC ini sebagai satu bilik rawatan tetapi sebenarnya adalah satu sistem perlindungan rentas agensi yang mana menghubungkan Kementerian Kesihatan Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan agensi berkaitan.
Dahulunya, Timbalan Yang di-Pertua, kalau ada mangsa-mangsa dalam kategori ini, mereka terpaksa pergi ke agensi ini secara satu persatu. Pergi ke balai polis dulu buat laporan, lepas itu pergi ke Jabatan Kebajikan untuk dapatkan perlindungan, lepas itu pergi ke hospital untuk mendapatkan rawatan ataupun untuk dikenali ataupun dapat dipastikan spesimen-spesimen tertentu untuk kes ini boleh didakwa dan sebagainya. Dan akhirnya, kadang-kadang, ada di antara mangsa kadang-kadang tidak tahu hendak ke mana lepas keganasan rumah tangga dilakukan.
Oleh itu, dengan adanya OSCC ini, kita lihat, alhamdulillah, telah wujudnya satu tempat yang sebenarnya kita lihat mangsa tidak perlu lagi pergi ke tempat yang bersepah-sepah ini― empat tempat. Hanya satu tempat di hospital yang dinamakan One Stop Crisis Center, mereka akan dapat sepatutnya perkhidmatan yang bersepadu. Itu sebab dinamakan OSCC.
Jadi, untuk itu, berdasarkan penelitian Jawatankuasa, terdapat beberapa dapatan utama yang perlu diberikan perhatian. Maknanya selepas 40 tahun perkara ini terlaksana, jadi kita turun padang, kita lihat ada beberapa perkara serius yang perlu diberi perhatian.
Pertama, sebelum kita nak lihat ini, kita nak tengok kes-kes yang di bawah akta-akta yang saya sebut tadi itu bagaimana pengembangannya. Kita lihat bahawa kes penderaan dan keganasan rumah tangga dirujuk kepada OSCC menunjukkan trend peningkatan yang membimbangkan. Data KKM menunjukkan jumlah kes OSCC meningkat daripada 9,652 kes pada tahun 2020, sekarang ini pada 2025 ia nya meningkat kepada 12,906 kes.
Dan kalau kita lihat dari jenis kes penderaan fizikal masih merupakan kategori paling dominan. Walau bagaimanapun, peningkatan kes penderaan seksual adalah sangat membimbangkan apabila jumlah kes meningkat daripada 2,699 kes pada 2020 kepada 4,258 kes pada tahun 2025. Ini merupakan bahawa sistem perlindungan, pengesanan awal dan intervensi terhadap mangsa keganasan seksual perlu diperkukuhkan dengan segera. Jawatankuasa juga mengambil maklum bahawa mangsa perempuan mencatatkan jumlah kes yang jauh lebih tinggi berbandingkan mangsa lelaki iaitu 10,176 kes berbanding lelaki 2,730.
Jadi, dengan ini, yang keduanya, kita dapatan yang didapati adalah Jawatankuasa mendapati keganasan rumah tangga juga merupakan komponen utama kes OSCC. Pada tahun 2025, kes keganasan rumah tangga mencatat 7,689 kes iaitu hampir 60 peratus daripada keseluruhan kes OSCC.
Daripada jumlah tersebut, sebahagian besar kes melibatkan keganasan fizikal. Hubungan pelaku dengan mangsa juga menunjukkan bahawa kategori terbesar iaitu suami atau isteri iaitu sebanyak 4,191. Cuba bayangkan, keganasan rumah tangga ini biasanya berlaku di dalam rumah tangga. Jika tidak ada OSCC ini ditambah baik dan sebagainya, pastinya ke mana mereka nak pergi untuk mengadu.
Dan dapatan seterusnya kita dapati menunjukkan bahawa rumah yang sepatutnya menjadi tempat paling selamat dalam banyak keadaan telah menjadi lokasi utama berlakunya keganasan. Jadi, ancaman kepada mangsa bukan selalu datang daripada orang luar tetapi ia nya datang daripada di kalangan keluarga ataupun mereka yang dikenali.
Yang ketiganya, Yang Berhormat Timbalan Speaker, Jawatankuasa mendapati bahawa risiko keganasan berubah mengikut umur mangsa. Bagi kanak- kanak, ancaman utama melibatkan penderaan fizikal oleh ibu bapa, pengabaian dan pembuangan bayi. Bagi remaja pula, fasa ini dikenal pasti sebagai titik kritikal bagi kes penderaan seksual khususnya dalam kalangan remaja perempuan. Bagi golongan dewasa, bentuk keganasan lebih kepada berkaitan keganasan fizikal dan keganasan intim dalam perkahwinan.
Yang di-Pertua, melalui libat urus yang kita lawat ke tujuh-tujuh hospital itu, Jawatankuasa mendapati ada beberapa perkara yang perlu kita ambil perhatian. Roh asal untuk menjadikan ia tempat bersepadu kita nampak ada sedikit ketidakselarasan di situ. Jadi, jawatankuasa mengambil serius isu kelewatan dan ketidakseragaman respons PDRM dalam mengendali kes OSCC.
Antara isu yang dibangkitkan termasuk kelewatan kehadiran pegawai polis ke hospital. Sepatutnya, pada asalnya...
[Tidak jelas] Polis perlu ada di hospital.
Tetapi, kita terpaksa juga menunggu, mangsa-mangsa terpaksa menunggu kehadiran pegawai polis ke hospital. Dan banyak juga isu kekeliruan dalam kes rentas daerah atau rentas negeri, mangsa diarahkan dari satu balai ke balai lain.
Laporan pihak ketiga seperti NGO tidak diterima serta kelemahan kefahaman sesetengah anggota barisan hadapan terhadap tatacara pengendalian mangsa. Ini dapatan kita.
Seterusnya, kita dapati bahawa kesinambungan perlindungan mangsa selepas rawatan di hospital masih lemah khususnya dari aspek respons JKM ataupun Jabatan Kebajikan Masyarakat selepas waktu pejabat, hujung minggu dan cuti umum.
Kalau kejadian itu berlaku di tengah-tengah minggu ataupun setelah dapat rawatan dan semua pemeriksaan, selepas itu ia perlu diletakkan di satu tempat perlindungan, maka di situ ada sedikit masalah yang kita dapat di situ adalah kesinambungan perlindungan mangsa, kita lihat, kerana mangsa ini sebelum dipindahkan dia perlu mendapatkan interim protection daripada mahkamah dan sebagainya. Dan di situ response time daripada JKM agak lemah di situ.
Dan seterusnya kita lihat juga...
[Tidak jelas] Bahawa bilangan pelindung JKM.
Puan Hajah Rodziah binti Ismail - Ampang
Kita dapati ada juga simpati kita melihat tentang pelindung-pelindung Jabatan Kebajikan Masyarakat ini tidak seimbang dengan beban kes di beberapa negeri dan daerah. Jadi pada masa yang sama, tidak semua hospital mempunyai OSCC, mempunyai pegawai JKM yang ditempatkan.
Jadi untuk itu Yang di-Pertua, berdasarkan semua dapatan ini, ada 10 perkara yang telah pun dikemukakan di bawah buku penyata ini. Saya harap semua Yang Berhormat boleh baca dengan teliti tetapi izinkan saya meletakkan beberapa perkara penting untuk saya bacakan sebagai tujuan rekod untuk kita ambil perhatian.
Pertama, jawatankuasa mengesyorkan supaya Kementerian Kewangan
(MOF) menyediakan peruntukan tahunan bagi pengoperasian OSCC, termasuk kos latihan berkala, sokongan psikososial kepada mangsa, pengurusan kes dan sebagainya. Kita lihat sekarang ini ada banyak perkara yang perlu ditangani. Jadi, kita minta MOF menjadi satu tunjang untuk memastikan perkara ini dapat diperkasakan.
Kedua, jawatankuasa mengesyorkan supaya Kementerian Ekonomi menyediakan peruntukan pembangunan khusus bagi naik taraf. Kita lihat tujuh hospital baru kita pergi, bukan 140. Saya harap semua Yang Berhormat lepas ini pergi melawat OSCC masing-masing, di tempat masing-masing. Bagi maklum balas balik kepada agensi yang ada. Kita dapati berlakunya tidak standard dari sudut kemudahan yang diberikan. Ada yang begitu daif, ada yang ok sedikit, sederhana, ada yang baik tetapi tak ada kakitangan dan sebagainya.
Jadi, kita nampak pengoperasian OSCC ini tidak dapat dilaksanakan dengan baik. Jadi untuk itu, kita harap pihak Jawatankuasa Ekonomi atau Kementerian Ekonomi menyediakan peruntukan pembangunan khusus yang lebih standard.
Yang ketiganya, Jawatankuasa mengesyorkan supaya JPA ataupun Jabatan Perkhidmatan Awam meneliti dan mewujudkan perjawatan khusus. Ada OSCC yang ada tetapi perjawatannya tak ada. Jadi, dipinjamkan dan sebagainya. Kan? Ada kes- kes tertentu Yang Berhormat Timbalan Speaker, kadang-kadang kes serentak datang tiga, empat ya, kadang lebih daripada itu. Kadang-kadang kes itu berlainan.
Yang dewasanya, kita kena tangani secara berbeza dengan mangsa kanak- kanak tetapi kita lihat perjawatan ataupun pegawai-pegawai tidak mencukupi. Yang memahami, satu lagi. Bagaimana perlu memahami situasi untuk menangani kes-kes kanak-kanak, contohnya. Kan? Mereka juga perlu diberikan satu perjawatan yang khusus, yang faham tentang bagaimana ingin kita ambil kes-kes yang ini.
Yang keempatnya, jawatankuasa mengesyorkan supaya (KKM) Kementerian Kesihatan Malaysia mempercepatkan pelancaran garis panduan. Kita dengar garis panduan ini nak distandardkan daripada 2016 tetapi sehingga kini, belum ada garis panduan standard. Jadi, setiap OSCC 140 di seluruh Malaysia ini masing-masing ada kaedah-kaedah yang berbeza kadangkalanya.
Ada kalanya mangsa datang, kita perlu buat ambil spesimen dalam 72 jam, ada yang kata 48 jam, ada macam-macamlah. Akhirnya, kes itu— yang kita bimbang adalah kes itu tidak dapat diketengahkan sebagai boleh didakwa kepada pemangsa.
Disebabkan bahan bukti telah pun tidak dapat diseragamkan. Jadi, amalan untuk mempercepatkan garis panduan OSCC supaya dilaksanakan dengan segera amat diminta di dalam penyata ini. Dan selepas itu, perlu membangunkan satu sistem OSCC yang lebih cekap.
Yang kelima Timbalan Yang di-Pertua. Jawatankuasa mengesyorkan supaya PDRM, pertama, melantik seorang pegawai penyelaras OSCC di setiap daerah, kena ada. Dia tak boleh main tolak-tolak dah sekarang ini, kan? Kalau ada kes, kena ada satu. Kalau paling tidak, di setiap daerah untuk mengendalikan isu-isu di bawah OSCC ini. Keduanya, menetapkan prosedur yang jelas bagi kes OSCC rentas daerah dan negeri.
Ada mangsa sejauh Kedah pergi ke Putrajaya untuk mendapatkan rawatan sebab mereka tidak mahu. Walaupun kes ini kadang-kadang kes berkaitan dengan keluarga. Mereka tidak mahu perkara ini diketahui ataupun disekat oleh keluarga.
Jadi, mereka merantau pergi ke tempat hospital lain atas alasan untuk mendapatkan perkhidmatan yang baik. Tetapi bila kita tengok, pergi ke hospital lain, “Oh, PDRM minta tolong supaya— minta ditunggu supaya IO daripada kawasan kejadian itu berlaku untuk hadir”. Jadi, inilah sebenarnya kekangan yang kita lihat. Akhirnya, terlepas kes itu begitu sahaja.
Yang ketiga yang seterusnya, garis masa maksimum ditetapkan. Kena ada satu garis masa yang tertentu. Seterusnya, menambahbaikkan kelengkapan dan sistem yang diperlukan. Ada. Ya, ada pegawai-pegawai PDRM yang tidak ada langsung laptop ataupun kemudahan perkakasan komputer untuk buat pelaporan dan sebagainya. Ia perlu juga diberikan perhatian.
Seterusnya, latihan. Kena— pegawai-pegawai polis ni kena tahu bagaimana nak tangani isu OSCC di hospital. Mungkin tak sama mereka yang pergi ke balai, dengan mereka pergi ke hospital, di OSCC ini.
Yang keenamnya, jawatankuasa mengesyorkan supaya Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mengkaji dan membuat pindaan yang perlu terhadap Akta Kanak-Kanak 2001. Ini penting, khususnya memperuntukkan berkaitan pelantikan serta fungsi atau pembantu pelindung. Ini saya nampak ada banyak kelemahan di sini dan perlu diberikan perhatian.
Jadi, dengan adanya pelindung ini membolehkan perwujudan perjawatan khas membantu pembantu pelindung yang ditempatkan. Supaya kalau pelindung tak cukup, kita ada satu jawatan khas yang dinamakan pembantu pelindung untuk mengendalikan perkhidmatan OSCC ini.
Ketujuh, jawatankuasa mengesyorkan supaya JKM menambahkan bilangan perjawatan dan penempatan pegawai pelindung, mewujudkan mekanisme pengurusan pengendalian kes OSCC dan seterusnya, melaksanakan pemetaan semula penempatan pelindung. Ada tempat yang ada, ada tempat yang tidak ada.
Jadi, perlu penempatan semula. Okey.
Dan seterusnya kelapan, jawatankuasa mengesyorkan supaya KKM menggunakan mekanisme pelaporan sementara seperti dashboard ringkas dan borang digital standard.
Kesembilan, dalam syor ini, Jawatankuasa mengesyorkan supaya KPWKM melaksanakan kempen. Kita ada akta, kita ada OSCC tapi kita nampak kempen— tak ramai tahu tentang kemudahan ini. Jadi, kita mohon supaya KPWKM menjadikan satu kempen supaya tuntas kepada semua— rentas semua, khususnya kepada pimpinan-pimpinan akar umbi. Daripada ketua kampungnya, sehinggalah Ahli-ahli Parlimen, untuk mengetahui kewujudan ini supaya response time dapat dilaksanakan dengan baik.
Dan seterusnya, kita mengesyorkan supaya KKM melaksanakan kempen juga bersama dengan KKM ataupun dengan JKM.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Masa sudah tamat.
Puan Hajah Rodziah binti Ismail - Ampang
Sikit, kesimpulan. Saya nak bacakan kesimpulannya. Kami sebagai Ahli Jawatankuasa merasakan bahawa OSCC perlu memainkan peranan yang amat penting sebagai pusat intervensi awal kepada mangsa. Ia nya perlu ada komitmen khusus petugas hospital, jelas kita tengok telah pun ada tetapi banyak sistem sokongan yang perlu diperbaiki.
Walau bagaimanapun, saya lihat di sini pelaksanaan OSCC masih belum berfungsi sepenuhnya. Maka, kita tidak wajar lagi melihat hanya OSCC ini hanya sebagai satu bilik atau perkhidmatan tambahan di hospital. OSCC perlu ditakrifkan semula sebagai satu ekosistem perlindungan mangsa dan melibatkan banyak faktor bagi memastikan mangsa dapat dibela.
Dan untuk itu, saya mengharapkan matlamat daripada penyata ini bukan sekadar memastikan mangsa sampai ke hospital, matlamat sebenar ialah memastikan mangsa keluar daripada kitaran keganasan, mendapat perlindungan yang bermaruah serta dapat memulakan proses pemulihan dengan selamat. Itu sahaja daripada kami Jawatankuasa Pilihan Wanita untuk membentangkan penyata ini. Sekian, terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Ahli-ahli Yang Berhormat, Penerangan Daripada Yang Berhormat Ahli Jawatankuasa Pilihan Wanita, Kanak-kanak dan Pembangunan Masyarakat ini terbuka untuk Ahli-ahli meminta penjelasan dan memberikan pandangan. Seramai lima pembahas. YB Seputeh, YB Kepala Batas, YB Kapar, YB Alor Setar dan YB Masjid Tanah. Setiap pembahas dibagi lima minit sahaja. Saya jemput Yang Berhormat Seputeh.
Puan Teresa Kok Suh Sim - Seputeh
Terima kasih Puan Yang di-Pertua.
Saya mengucapkan tahniah kepada Jawatankuasa Pilihan Kesihatan atas— mengucapkan tahniah kepada Penyata Jawatankuasa Pilihan Wanita, Kanak-kanak dan Pembangunan Masyarakat atas kajian mereka terhadap penambahbaikan perkhidmatan bersepadu one stop crisis center (OSCC) di Malaysia. Laporan ini amat penting kerana OSCC merupakan komponen utama dalam memastikan mangsa keganasan rumah tangga, keganasan seksual dan penderaan menerima rawatan, perlindungan serta sokongan secara menyeluruh.
Namun, selepas hampir tiga dekad pelaksanaannya, persoalannya ialah sama ada sistem ini benar-benar memberi perlindungan yang konsisten kepada semua mangsa? Pertama, mengenai keseragaman pelaksanaan OSCC, garis panduan One Stop Crisis Center: Policy and Guidelines For Hospitals, Kementerian Kesihatan 2025 menetapkan setiap OSCC perlu menyediakan perkhidmatan multi disiplin melibatkan pegawai perubatan, jururawat, pegawai kerja sosial, perubatan, pakar psikiatri, PDRM dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Saya ingin tanya kepada pihak kerajaan. Berapakah jumlah hospital yang mengendalikan OSCC mengikut standard penuh Kementerian Kesihatan dan berapa buah hospital masih berdepan kekurangan pegawai kerja sosial, pakar psikiatri atau pegawai terlatih sehingga menjejaskan operasinya?
Puan Teresa Kok Suh Sim - Seputeh
Kedua, berhubung pemantauan keberkesanan OSCC, Laporan Lawatan Jawatankuasa Pilihan Wanita, Kanak-kanak dan Pembangunan Masyarakat ke OSCC Hospital Putrajaya pada 10 Jun 2024 menunjukkan kes OSCC meningkat daripada 300 kes pada tahun 2022 kepada 330 kes pada tahun 2023. Ini membuktikan keperluan terhadap perkhidmatan ini masih tinggi.
Namun, adakah kerajaan hanya mengumpulkan statistik jumlah kes atau turut menilai keberkesanan intervensi seperti peratus mangsa yang menerima rawatan psikologi susulan mendapat perlindungan JKM atau menjadi mangsa keganasan berulang?
Tuan Yang di-Pertua, yang ketiga ialah mengenai kesinambungan rawatan kesihatan mental. Ramai mangsa bukan sahaja mengalami kecederaan fizikal, malah trauma kemurungan dan gangguan tekanan pasca trauma (PTSD).
Adakah semua mangsa yang dirawat di OSCC dirujuk secara automatik kepada perkhidmatan psikologi atau psikiatri dan berapa peratus yang benar-benar hadir ke sesi susulan? Jika data ini tiada, bagaimanakah kerajaan menilai keberkesanan intervensi yang diberikan?
Keempat mengenai koordinasi antara agensi. Laporan UNFPA Malaysia and United Nations University International Institute for Global Health 2025 mendapati masih wujud jurang antara dasar dan pelaksanaan sehingga pengalaman mangsa tidak seragam di semua hospital. Apakah langkah konkrit kerajaan untuk memastikan semua OSCC mengamalkan pendekatan yang benar-benar berteraskan mangsa ataupun survivor-centered dan memberikan pengalaman perkhidmatan yang seragam?
Saya pernah membangkitkan satu kes keganasan seksual dalam ucapan Kamar Khas pada 4 Disember 2025. Mangsa rogol dalam kes itu Puan Loh telah mengalami pengalaman yang amat menyedihkan apabila pegawai polis meragui kesahihan laporannya dan mengarahkan beliau pulang ke rumah untuk mandi sebelum bertemu dengan pegawai penyiasat pada keesokan hari.
Tindakan tersebut telah menyebabkan bukti forensik yang penting itu hilang dan bercanggah dengan prosedur dan amalan penyiasatan yang sepatutnya dipatuhi. Kes ini menunjukkan bahawa sesetengah pegawai polis yang bertugas di balai polis kurang tahu tentang wujudnya OSCC dan gagal memberi nasihat yang wajar kepada mangsa rogol yang amat perlu bimbingan apabila mereka diserang keganasan seksual.
Akhir sekali, kejayaan OSCC tidak seharusnya berdasarkan jumlah pusat atau jumlah kes semata-mata tetapi sejauh mana setiap mangsa menerima rawatan yang menyeluruh, perlindungan yang berkesan dan mampu membina semula kehidupan mereka? Saya sokong cadangan Jawatankuasa Pilihan Wanita, Kanak- kanak dan Pembangunan Masyarakat untuk menjalankan kempen tentang OSCC.
Saya menyeru Kementerian Komunikasi memberi sokongan penuh atas usaha kempen tersebut.
Justeru, saya berharap kerajaan bukan sahaja menerima syor-syor jawatankuasa ini malah menyediakan peruntukan, tenaga kerja dan mekanisme pemantauan yang amat perlu agar OSCC terus menjadi model perlindungan mangsa keganasan wanita yang terbaik di rantau ini. Sekian, terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Terima kasih Yang Berhormat Seputeh. Saya jemput Yang Berhormat Kepala Batas.
Dr. Siti Mastura binti Muhammad - Kepala Batas
Bismillahirrahmanirrahim, Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih Puan Yang di-Pertua.
Kepala Batas ingin melihat bahawa perkara ini adalah satu hakikat yang sangat membimbangkan. Kalau kita melihat kepada data jumlah kes OSCC meningkat bukan sekadar lima peratus, 10 peratus tapi meningkat kepada 34 peratus dalam tempoh lima tahun dan lebih membimbangkan hampir 60 peratus daripada keseluruhan kes ini merupakan keganasan rumah tangga dan lebih 58 peratus pelakunya ialah pasangan sendiri, terutamanya terhadap kaum wanita.
Malah data turut menunjukkan sebanyak 388 kes direkodkan di negeri Pulau Pinang. Ancaman terbesar pasangan hari ini bukan datang daripada orang asing tetapi daripada individu yang paling hampir dengan mereka. Biarpun majoriti ancaman berlaku terhadap kaum wanita, namun dalam era masa ini kaum lelaki turut menjadi mangsa dan juga ancaman.
Kajian oleh WHO juga menunjukkan bahawa hampir satu daripada tiga wanita di dunia ini pernah mengalami keganasan fizikal ataupun seksual sepanjang hayat mereka. Kebanyakannya dilakukan oleh pasangan intim. WHO menegaskan bahawa keganasan terhadap wanita bukan sekadar isu jenayah tapi isu kesihatan awam, hak asasi manusia dan juga pembangunan negara.
Persoalannya, adakah sistem dan perundangan negara kita pada hari ini benar-benar mampu mencegah keganasan daripada berlaku? Justeru, Kepala Batas syorkan agar peruntukan dan sesi libat urus antara NGO dan juga NGI dapat disediakan dengan lebih banyak. Libat urus bukan sekadar percambahan maklumat tapi bahkan perbincangan mencari solusi yang melibatkan satu SOP ataupun langkah mencegah, mengawal, membendung keganasan rumah tangga yang lebih berkesan bermula daripada sekolah rendah lagi.
Tuan Yang di-Pertua, dalam disiplin polisi awam, suatu dasar dianggap berjaya bukan apabila SOP bertambah tetapi apabila berjaya mengurangkan ataupun semakin terkawal. Laporan ini banyak menyebut tentang latihan, garis panduan, koordinasi tetapi bagaimana pula dengan ukuran keberhasilan dasar.
Berapa ramai mangsa berjaya keluar daripada kitaran keganasan? Berapa kadar pengulangan keganasan terhadap mangsa yang sama? Berapa ramai pelaku berjaya disabitkan kesalahan? Jika KPI hanya mengukur berdasarkan bilangan mesyuarat, latihan, hospital, maka kita sedang mengukur output, bukannya outcome.
Usaha kerajaan wajar dinilai berdasarkan impak kepada rakyat, bukan sekadar aktiviti pentadbiran.
Seterusnya Kepala Batas melihat keberkesanan pendekatan keseluruhan pentadbiran dan pengurusan iaitu integrasi antara KKM, PDRM, JKM dan juga agensi-agensi lain masih belum benar-benar bersepadu. Jadi, Kepala Batas ingin tahu bilakah Malaysia akan mempunyai national integrate OSCC system yang membolehkan semua agensi berkongsi maklumat secara masa nyata.
Mengapa mangsa masih perlu mengulangi kisah traumanya kepada pelbagai agensi? Bukankah ini mewujudkan secondary victimization, sedangkan matlamat OSCC ialah mengurangkan trauma? Jika kita lihat Bahagian IV buku laporan melalui subtajuk Pemantauan Penyeragaman dan Penyelarasan Data OSCC, sebahagian hospital masih menggunakan sistem manual berbanding sistem digital.
Perkara ini wajar direformasikan segera bagi memastikan pelarasan maklumat dilaksanakan memandangkan negara sedang menuju ke arah sistem pendigitalan maklumat. Maka di sini Kepala Batas ingin tahu adakah terdapat perancangan untuk menambah baik sistem simpan rekod dan juga maklumat secara digital di semua agensi kerajaan yang terlibat dalam pelaksanaan OSCC ini?
Kepala Batas mohon agar satu peruntukan yang dapat disediakan dengan lebih seimbang oleh pihak Kementerian Kewangan bagi menjayakan inisiatif naik taraf sistem maklumat. Selain itu Kepala Batas ingin tahu sejauh manakah, kami di peringkat Ahli Parlimen Perikatan Nasional turut dilibatkan dalam proses pelaksanaan.
Tuan Yang di-Pertua, pendidikan keluarga bermula sebelum masalah berlaku. Kepala Batas ingin mencadangkan agar kerajaan memperkukuhkan model kekeluargaan melalui pendekatan sepanjang hayat yang dilaksanakan bersama JAKIM sebelum ini seperti modul lelaki qawwam yang pernah diperkenalkan ketika Bagan Serai berkhidmat sebagai Menteri Agama sebelum ini.
Antara perkara yang sesuai untuk kita fikirkan dan laksanakan, pertama, kursus selepas berkahwin iaitu memberi perhatian kepada kaunseling selepas perkahwinan, terutamanya kepada pasangan muda ataupun yang baru mendirikan rumah tangga, kelas pengurusan rumah tangga berjadual terutamanya kepada pasangan yang mendapatkan bantuan kaunseling di pejabat agama ataupun pusat kaunseling, sokongan kepada keluarga yang berisiko tinggi, pendidikan emosi dan kemahiran berinteraksi yang boleh dimulakan dari zaman persekolahan.
Keganasan rumah tangga ini boleh berlaku oleh faktor-faktor di luar rumah tangga terutamanya perkara berkaitan ekonomi, kos sara hidup yang tinggi. Maka, sudut dan proses kaunseling ini boleh membantu.
Tuan Yang di-Pertua, UN Women menegaskan bahawa keganasan terhadap wanita bukan sahaja merosakkan mangsa, malah menjejaskan produktiviti, ekonomi, kesejahteraan keluarga dan pembangunan negara. Sebab itu pendekatan terbaik ialah pencegahan pendidikan, kerjasama seluruh kerajaan, bukan hanya tindak balas terhadap jenayah berlaku.
Maka, Kepala Batas mencadangkan tiga perkara. Wujudkan sistem digital bersepadu nasional antara KKM, PDRM, JKM, mahkamah serta pusat sokongan sosial setempat di setiap Parlimen.
Yang kedua, tetapkan kayu ukur nasional berasaskan hasil seperti kadar pemulihan mangsa, kadar pengulangan keganasan dan juga kadar penyelesaian kes dan ketiga memperkukuhkan pendidikan kekeluargaan.
Akhirnya Puan Yang di-Pertua, sebagai seorang wanita muda, sebagai seorang ibu saya akhiri dengan teladan Umar al-Khattab. Apabila beliau melihat seorang ibu dan anak-anaknya kelaparan, beliau sendiri tidak menyalahkan sistem, tidak menunggu laporan ataupun prosedur tapi beliau sendiri memikul gandum dan berkata bahawa seorang pemimpin akan dipersoalkan di hadapan Allah atas nasib rakyatnya.
Dr. Siti Mastura binti Muhammad - Kepala Batas
Itulah roh kepimpinan yang kita perlukan hari ini. Ia nya tidak perlu diulang- ulang, tetapi dilaksanakan dengan penuh tawaduk kerana ukuran sebenar sesebuah negara bukanlah setinggi mana bangunannya tetapi sejauh mana wanita, kanak- kanak, keluarga dapat hidup dengan aman, bermaruah dan bebas daripada ketakutan. Sekian, terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Terima kasih Yang Berhormat Kepala Batas. Saya jemput Yang Berhormat Kapar.
Dr. Hajah Halimah Ali - Kapar
Terima kasih Yang di-Pertua. Yang di- Pertua, terima kasih kerana memberikan peluang untuk saya membahaskan Penyata Jawatankuasa Pilihan Wanita, Kanak-kanak dan Pembangunan Masyarakat bertajuk Penambahbaikan Perkhidmatan Bersepadu One Stop Crisis Center di Malaysia. Saya akan membahas daripada tiga perseptif. Pertama, sebagai latar belakang saya sebagai doktor perubatan yang pernah melihat sendiri patient ataupun pesakit yang relevan dengan masalah ini. Kedua, pengalaman sebagai wakil rakyat yang pernah menerima aduan-aduan isu yang kita sebutkan hari ini.
Ketiga, daripada pengalaman sebagai ahli jawatankuasa JKP Wanita yang melawat OSCC dan melihat dengan mata kepala sendiri beberapa OSCC dalam negara kita.
Pertama, kes seorang ibu mengandung tujuh bulan lebih yang terpaksa dimasukkan hospital segera kerana diterajang suaminya yang berang, di mana di bahagian pangkal paha dan perut, tempat baby-nya ya. Kepala baby-nya. Dan dihentak berkali-kali kepalanya dengan helmet dan menyebabkan pendarahan.
Wanita ini cantik. Isteri ini cantik. Ada tiga orang anak tapi memang cantik. Suami pendiam. Ini patient saya. Secara zahirnya, family ini okey.
Kedua, kes perempuan SMK yang dijumpai berjalan sendirian waktu subuh dari DUN Selat Klang ke Stesen Batu 3, Shah Alam. Masa Ampang jadi ADUN.
Dalam keadaan yang tidak terurus. Secara kebetulan dijumpai orang kampungnya yang mengenalinya. Difahamkan dia baru diperkosa abang kandung di rumah mereka. Ibu telah meninggal dunia. Bapa mereka selalu tak ada di rumah dan memang dia ini telah menjadi mangsa nafsu serakah abang sendirinya berkali-kali.
Dia selalu ponteng sekolah disebabkan keadaan ini. Kemuncaknya, hari kejadian, dia nekad lari dari rumahnya setelah tak tahan menjadi mangsa seksual di rumah sendiri. Dua kes yang saya sebut ini adalah dua kes yang sepatutnya menjadi contoh-contoh pelanggan OSCC dari ribuan kejadian malang yang berlaku di luar sana.
Inilah hakikat kepincangan dalam negara kita ini. Keretakan rumah tangga, rumah sendiri sudah tidak selamat terutama kanak-kanak dan wanita. Maka, masyarakat kita amnya, perlu tahu bertindak sekiranya mereka melihat dan mendengar perkara tanda-tanda seperti ini berlaku.
Kedua, golongan yang rentan ini pula, sepatutnya ada rujukan pantas untuk menghalakan mereka kepada golongan yang boleh membantu menyelamatkan diri daripada terus dibantai secara fizikal, emosional dan mental hingga ada yang menjadi mangsa mudah industri gelap atau lebih malang, bunuh diri. Di antara penyelamat keadaan ialah OSCC yang kita bicara pada hari ini. Malangnya, OSCC yang sedia ada masih jauh dari ideal sebagai pusat sehenti krisis. Dan OSCC diletak di kawasan Jabatan Kecemasan yang capital-nya sempit, jauh ke dalam dan kebanyakan masih tidak mempunyai kelengkapan dan tidak selesa dan it’s a drain on the KKM budget.
Jadi, saya minta kepada MOF dan MOE, silalah lihat kepada syor. Ada 10 syor jawatankuasa ini untuk menambah baik OSCC yang ada, menambahkan kelengkapan yang kritikal, yang asas dan juga daripada segi dashboard ringkas atau borang digital standard, sementara menunggu pelaksanaan sistem pendigitalan penuh OSCC untuk berfungsi sebagai OSCC yang berkesan dan boleh menyelesaikan masalah-masalah yang kita hadapi.
Jadi, saya mengesyorkan semua yang disebut di dalam syor jawatankuasa ini, pertamanya, bottleneck yang berlaku, kita minta jawatankuasa mengesyorkan supaya PDRM melantik seorang pegawai penyelaras OSCC di setiap daerah yang mempunyai kuasa dan autoriti mencukupi untuk mengarahkan tindakan segera apabila kes dirujuk oleh hospital. Bayangkan yang saya sebutkan tadi, yang mengandung, yang sakit, yang patah, yang nak menunggu nak bersalin, pendarahan, siapa nak bantu dia. Jadi, kalau dia ini di tempat jauh dan sebagainya, maka bagaimana kesnya akan diselesaikan?
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Sila gulung.
Dr. Hajah Halimah Ali - Kapar
Last sekali Yang di-Pertua. Kementerian Ekonomi perlu menyediakan peruntukan pembangunan khusus bagi menaik taraf infrastruktur OSCC. JPA meneliti dan mewujudkan perjawatan khusus berkaitan pengurusan OSCC di agensi utama termasuk KKM, JKM dan PDRM. Jawatankuasa mengesyorkan supaya KKM mempercepatkan pelancaran garis panduan OSCC agar mekanisme pemantauan, pematuhan OSCC di semua hospital dapat dilaksanakan.
Akhir sekali, kita mengharapkan kerajaan mempunyai political wheel untuk bertindak di atas semua syor-syor ini untuk memastikan mangsa-mangsa yang kita lihat semakin ramai ini diberikan peluang, diberikan perlindungan, dipulihkan dan diapakan...
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Terima kasih.
Dr. Hajah Halimah Ali - Kapar
...Trauma tadi. Di situasi trauma tadi. Terima kasih Speaker.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Terima kasih Yang Berhormat Kapar. Saya jemput Yang Berhormat Alor Setar.
Tuan Afnan Hamimi bin Dato’ Haji Taib Azamudden - Alor Setar
Terima kasih Puan Yang di-Pertua. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.
Puan Yang di-Pertua, saya ucap tahniah kepada Jawatankuasa Pilihan Khas ini, seperti Yang Berhormat Ampang bentangkan tadi atas suatu pembentangan yang sangat penting ini. Mangsa mesti dibela. Mangsa mesti dilindungi. Itu tanggungjawab kita.
Puan Yang di-Pertua, apabila kita baca laporan yang tebal ini, [Sambil menunjukkan senaskhah dokumen] dan kita mendengar pembentangan Yang Berhormat Ampang tadi, kita bukan hanya sekadar nampak angka. 12,900 kes direkodkan tahun lepas. Kita bukan setakat tengok angka-angka itu. Perempuan lebih ramai, penderaan fizikal, keganasan rumah tangga. Itu, itu satu angka.
Tapi yang patut kita tengok ialah kita nampak seorang isteri yang pulang ke rumah dalam keadaan ketakutan. Kita tengok seorang anak kecil yang tidur dalam tangisan. Kita nampak seorang ibu yang setiap hari hidup dalam trauma. Sedihnya, yang memukul itu bukan orang luar, yang mendera itu bukan asing, tapi orang yang sepatutnya menjadi tempat perlindungan. Suami, ayah, ahli keluarga sendiri.
Puan Yang di-Pertua, apa sudah jadi dengan masyarakat kita pada hari ini?
Mengapa hati manusia semakin keras? Mengapa kasih sayang semakin mahal?
Mengapa rumah yang sepatutnya menjadi syurga bertukar menjadi neraka bagi sebahagian ahli keluarga? Saya percaya salah satu puncanya ialah kita semakin sibuk membina ekonomi, tetapi kita semakin lalai membina manusia. Pepatah Arab ada sebut, kemiskinan kadang-kadang hampir-hampir membawa seseorang kepada kekufuran.
Tapi hari ini Puan Yang di-Pertua, cabarannya lebih besar. Bukan sekadar miskin harta, ramai yang miskin jiwa. Pagi keluar bekerja, malam baru pulang. Hidup hanya mengejar angka. Kejar bonus. Kejar keuntungan. Kejar KPI. Poket semakin penuh, tapi hati semakin kosong. Ada yang sanggup duduk berjam-jam di pusat beli- belah tapi berat untuk duduk sejam dalam majlis ilmu.
Ada yang sibuk cari rezeki tapi lupa cari ketenangan. Yang lebih menyedihkan, ada pekerja yang sukar menunaikan solat kerana dianggap ganggu waktu bekerja. Jejaskan jualan. Ada wanita yang bekerja, ditekan supaya buka aurat untuk tarik pelanggan. Kalau beginilah keadaannya, maknanya ekonomi yang sudah membentuk manusia, sedangkan sepatutnya agama yang sepatutnya membentuk manusia.
Puan Yang di-Pertua, saya berpandangan, kita memang perlu perkukuhkan one stop crisis center ini seperti Yang Berhormat Ampang bentangkan. Saya sokong sepenuhnya. Tapi kita jangan hanya bina pusat krisis, jangan hanya kita tertumpu kepada agensi kerajaan yang ada. Kita juga mesti membina hati manusia.
Tuan Afnan Hamimi bin Dato’ Haji Taib Azamudden - Alor Setar
Undang-undang boleh buat orang takut kepada hukuman, tapi hanya iman yang boleh buat orang takut kepada tuhan. Undang-undang boleh menghalang tangan daripada memukul, tapi hanya iman yang mampu melembutkan hati sehingga tangan yang memukul itu memilih untuk memeluk. Itulah bezanya.
Puan Yang di-Pertua, akhir sekali mengenai kepimpinan. Anak-anak belajar daripada ibu ayah. Rakyat belajar daripada pemimpin. Kitalah pemimpin itu dalam Dewan yang mulia ini. Kalau pemimpin setiap hari bercakap kasar, rakyat akan anggap kasar itu biasa. Kalau pemimpin suka menghina, rakyat akan belajar menghina.
Kalau pemimpin suka memecahbelahkan masyarakat, rakyat juga akan hidup bermusuhan. Semua pihak, belah sini ataupun sebelah sana. Kalau pemimpin menunjuk akhlak yang baik, menjaga lidah, menghormati orang walaupun berbeza pandangan, mendahulukan agama daripada kepentingan diri, insya-Allah rakyat juga akan mengikutinya.
Puan Yang di-Pertua, kita sedih melihat apa yang dilaporkan tadi, kerana kita masing-masing menjadi seorang anak. Kita juga ada anak wanita ada anak lelaki, kita juga menjadi suami kepada isteri. Suami sepatut menjadi pelindung, tapi hari ini cuba bayangkan, generasi kita ini boleh berhadapan dengan keadaan ini kerana kita ada persiapan. Tapi bagaimana anak-anak kita selepas ini yang akan berhadapan dengan banyak lagi cabaran-cabaran yang kita tidak duga?
Sebab itu mesti bermula dengan kepimpinan. Yang paling bimbang, bukan ekonomi yang lemah tapi hati manusia yang semakin kosong. Hati yang jauh daripada Allah melahirkan tangan yang sanggup memukul, lidah yang sanggup menyakiti, jiwa yang hilang belas kasihan. Sebab itu Puan Speaker, jangan kita hanya sekadar melihat kepada aspek ini sahaja semata-mata. Jangan kita hanya sekadar bina hospital, bina balai polis, bina pusat-pusat mengurus krisis, tapi kita kena bina hati manusia. Terima kasih Puan Yang di-Pertua.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Terima kasih Yang Berhormat Alor Setar. Saya jemput Yang Berhormat Masjid Tanah.
Datuk Wira Hajah Mas Ermieyati binti Samsudin - Masjid Tanah
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Jadi, saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada Jawatankuasa Pilihan Wanita Kanak-Kanak dan juga Pembangunan Masyarakat atas penyediaan laporan yang sangat komprehensif berkenaan dengan one stop crisis center. Jadi, kita lihat bahawa negara kita sedang berhadapan dengan krisis perlindungan mangsa dan sebagaimana yang disebut oleh semua pembahas bahawa angka tertinggi pada tahun 2025 adalah angka yang menakutkan. Dan kalau tadi sahabat saya daripada Alor Setar menyatakan kasihan isteri, kasihan anak, saya juga kasihankan pada sang suami. Suami juga adalah merupakan mangsa di dalam perkara yang berlaku ini.
Dan, apabila lebih membimbangkan 60 peratus ini daripadanya berlaku akibat keganasan rumah tangga dan data menunjukkan walaupun kes penderaan fizikal kekal sebagai kategori dominan, tapi kes penderaan seksual juga meningkat 80 peratus dalam tempoh empat tahun. Ini juga angka yang membimbangkan.
Jadi semua tahu, semuanya faham, semuanya akur, bahawa hari ini rumah sepatutnya menjadi tempat selamat untuk ahli keluarga. Dan saya ingin bertanya kepada kerajaan dalam data-data ini, jelas menunjukkan bahawa kelemahan sistem perlindungan sosial dalam negara kita ini dan ini yang kerajaan harus akui.
Jadi soalan kita, bagaimana kita nak mengukur keberkesanan OSCC ini?
Apakah KPI sebenar yang diukur oleh kerajaan? Adakah cukup dengan sekadar mengatakan bahawa mangsa telah terima rawatan? Atau KPI sebenar, memastikan oh mangsa tak perlu balik kembali semula kepada rumah dan bertemu dengan pelaku yang telah pun memperlakukan sedemikian rupa kepada mangsa tersebut?
Jadi Tuan Yang di-Pertua, saya datang dari kawasan luar bandar. Dari Masjid Tanah. Kalau daripada Masjid Tanah nak pergi ke Hospital Melaka ambil masa lebih kurang dalam sejam. Jadi, bayangkan kalau dekat bandar mungkin dalam 20 minit sampi ke hospital. Dan dalam tempoh demikian tempoh yang lama.
Bayangkan kalau Sabah Sarawak, tempat yang pedalaman ambil masa dan mungkin daripada mereka nak buat laporan, terus mereka angkat tangan dah tak payah lah nak buat laporan. Ini nak buat laporan nak pergi mengadu dan sebagainya, menambahkan lagi trauma dan juga masalah kepada mereka.
Sebab itu saya ingin bertanya kepada pihak jawatankuasa. Adakah pihak kerajaan mempunyai pelan khusus untuk memperluaskan lagi akses OSCC ini ataupun perkhidmatan satelit bagi kawasan luar bandar termasuk dalam negeri Melaka supaya akses kepada perlindungan keadilan ini tidak bergantung kepada lokasi seseorang itu tinggal?
Dan lebih membimbangkan lagi, apabila mangsa itu dari segi waktu “tempoh” mangsa itu keluar dari hospital. Apa yang akan berlaku. Sebab kita tahu ini hanya sifat sementara dan cabaran sebenar bermula apabila mangsa dibenarkan pulang.
Dan ini adalah sebenarnya cabaran yang terbesar iaitu proses kesinambungan perlindungan selepas rawatan.
Pegawai pelindung, dalam laporan kata tak cukup. Response selepas waktu pejabat tidak konsisten, koordinasi hospital, polis, JKM masih lagi belum bersepadu.
Ini dalam mana perbahasan Ahli Parlimen semua selalu disentuh. Jadi saya ingin bertanya, dalam satu situasi apabila ibu telah didera secara fizikal dan seksual oleh suami. Dia terpaksa keluar dari rumah dua pagi bawa anak dua, tiga orang keluar.
Dan siapa yang akan menyambut mereka? Adakah pihak hospital ataupun polis ataupun siapa yang akan menyambut mereka?
Dan kalau mereka terpaksa— kadang-kadang macam Seputeh, walaupun saya tak dengar Seputeh berbahas tapi dia kongsi kan bahawa pengalaman bila pergi ke balai polis, acuh tidak acuh saja perkhidmatan daripada mereka. Terpaksa mereka balik. Dan kalau ini berlaku, dan telah berlaku pun maka keseluruhan sistem ini sebenarnya telah gagal.
Sebab itu perlu ada pendekatan baru. No wrong door policy. Jadi, apa maksudnya tak kira mangsa datang ke klinik, balai polis, hospital, pejabat JKM ke, mereka hanya perlu ceritakan kisah mereka sekali sahaja. Ini tidak apabila tidak ada data bersepadu, tiap-tiap kali jumpa— kalau polis cerita sekali lagi, jumpa pihak hospital, jumpa doktor cerita lagi sekali. Sampaikan mereka terpaksa mengalami trauma berulang kali kerana apabila terpaksa diulang-ulang kembali cerita mereka.
Dan kita tahu apabila data-data ini semua data-data yang pecah, dekat polis lain, dekat hospital lain, dekat JKM lain, sebab itulah saya amat setuju dengan cadangan ini, supaya diwujudkan sistem data berpadu.
Tapi itu saja lah. Setiap kali kita bangkitkan RUU Yang di-Pertua, itu sajalah antara perkara yang dibangkitkan. Mesti ada penyelarasan data. Bila nak dibuat penyelarasan data? Saya harap Kerajaan MADANI cepatlah buat penyelarasan data negara ini. Sebab apabila data itu berpecah, kita susah untuk mengukur, apakah outcome daripada apa setiap masalah yang berlaku dalam negara kita ini.
Tuan Yang di-Pertua, hari ini yang paling fragile sekali adalah anak-anak.
Kanak-kanak ini adalah sebenarnya mangsa senyap dan angka peningkatan yang membimbangkan, sebab itulah pengesanan— protokol pengesanan awal sangat penting. Ini melibatkan guru kaunseling, guru disiplin dan pasukan pentadbiran dan juga pengurusan sekolah.
Dan sebab itu Tuan Yang di-Pertua, saya harap juga apabila mereka berani untuk minta pertolongan, janganlah kita biarkan mereka dalam membiarkan sistem ini mengecewakan mereka yang perlukan pertolongan.
Sebab itu saya benar-benar berharap supaya kerajaan dapat melaksanakan data bersepadu OSCC yang menghubungkan KKM, PDRM, JKM secara real time memandangkan kelemahan penyelarasan dikenal pasti sebagai isu utama dan saya ingin tahu berapakah nisbah pegawai perlindungan JKM kepada jumlah kes OSCC mengikut negeri termasuk Melaka? Adakah kerajaan bersedia untuk menambah jawatan tetap bagi mengelakkan kelewatan tindakan?
Dan yang terakhir, adakah kerajaan bersetuju untuk mewujudkan OSCC satelit ataupun pasukan response bergerak bagi kawasan luar bandar terutama sekali di Sabah dan Sarawak supaya mangsa tidak perlu merempuh perjalanan yang jauh sebelum menerima perlindungan? Itu saja daripada Masjid Tanah. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Terima kasih Yang Berhormat Masjid Tanah. Ahli-ahli Yang Berhormat, sekarang saya menjemput Yang Berhormat Tumpat, Ahli Jawatankuasa Pilihan Wanita, Kanak-kanak Dan Pembangunan Masyarakat untuk menjawab. Saya bagi masa lapan minit.
Dato’ Hajah Mumtaz binti Md Nawi - Tumpat
Lapan minit?
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Lapan.
Dato’ Hajah Mumtaz binti Md Nawi - Tumpat
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih Puan Yang di-Pertua kerana memberikan saya masa untuk membuat penggulungan kepada penyata Jawatankuasa Pilihan Wanita, Kanak-kanak dan Pembangunan Masyarakat. Saya ucapkan terima kasih kepada lima Ahli Yang Berhormat yang mengambil bahagian dalam perbahasan pada kali ini iaitu daripada Seputeh, Kepala Batas, Kapar, Alor Setar dan Masjid Tanah.
Hari ini alhamdulillah, kita telah mengetahui dengan lebih lancar tentang apakah OSCC dan persoalan yang penting ialah sama ada mangsa benar-benar menerima bantuan yang cepat, selamat dan berempati serta terselaras, apabila mereka hadir ke hospital atau dirujuk oleh pihak lain. Daripada penelitian jawatankuasa, jelas kita dapati bahawa kelemahan utama OSCC bukan berpunca daripada satu agensi. Ia berpunca daripada rantaian tindakan yang belum kukuh daripada pelbagai agensi kesihatan, kekuasaan, kebajikan dan perlindungan sosial.
Jika pautan dalam rantaian ini lambat bertindak, mangsa akan menanggung akibatnya.
Dalam kes OSCC, kelewatan bukan sekadar kelewatan pentadbiran, kelewatan boleh menyebabkan bukti forensik hilang, pemeriksaan tertangguh, keselamatan mangsa terancam, tindakan perlindungan tidak segera dan paling serius mangsa mengalami— sebagaimana yang disebutkan oleh Ahli Yang Berhormat, mengalami trauma yang berulang.
Tuan Yang di-Pertua, pertama jawatankuasa menegaskan bahawa OSCC bukan dilihat sebagai perkhidmatan perlindungan krisis. Bukan sekadar perkhidmatan rawatan hospital.
Dato’ Hajah Mumtaz binti Md Nawi - Tumpat
Isu fasiliti yang tidak mesra mangsa tidak boleh dianggap isu kecil.
Kekurangan ruang privasi, ketiadaan bilik temu duga yang sesuai, ruang menunggu yang terdedah kepada orang awam, persekitaran yang tidak selamat serta kemudahan yang tidak menjamin kerahsiaan identiti mangsa boleh menjejaskan keseluruhan pengalaman mangsa dalam mendapatkan bantuan. Dan kita setuju sebagaimana yang disebutkan oleh Yang Berhormat tadi bahawa perlu suatu standard yang sama untuk OSCC di seluruh negara.
Jawatankuasa menegaskan bahawa penambahbaikan infrastruktur OSCC bukan soal keselesaan semata-mata, ia merupakan sebahagian daripada perlindungan mangsa.
Kedua, jawatankuasa ingin menarik perhatian kerajaan terhadap isu sumber manusia dan perjawatan khusus dalam banyak hal. Kita tengok OSCC bergantung kepada pegawai yang sudah mempunyai beban tugas sedia ada. Pegawai-pegawai perubatan daripada pelbagai agensi, pegawai kerja sosial, pegawai polis pelindung menjalankan kerja OSCC dalam keadaan sumber manusia yang terhad.
Apabila tiada jawatan khusus, maka tiada pegawai yang tetap dan tiada struktur tugasan yang jelas. Pelaksanaan OSCC akan bergantung kepada komitmen individu. Kebergantungan kepada individu bukan model yang mampan, sekiranya pegawai itu bertukar, bercuti, pindah atau tidak bertugas maka kelancaran perkhidmatan akan terjejas.
Oleh itu, sekiranya negara kita mengiktiraf bahawa ini adalah perkara yang serius dan kritikal, OSCC perlu dikenali sebagai perkhidmatan kritikal kepada mangsa keganasan. Maka perjawatan-perjawatan, latihan dan peruntukan mesti mencerminkan tahap kepada yang tersebut.
Puan Yang di-Pertua, ketiga, jawatankuasa menegaskan bahawa kelemahan SOP dan garis panduan di lapangan perlu ditangani dengan lebih tegas. Kita dapati pelbagai maklumat dan aduan telah diterima di mana PDRM juga pihak hospital mempunyai beberapa masalah kerana menghadapi garis panduan yang tidak standard. Antara isu yang dibangkitkan ialah mangsa diarahkan dari satu balai ke balai lain, kes rentas daerah yang dikendalikan dengan segera. Pegawai polis lewat ke OSCC, laporan pihak ketiga seperti NGO tidak diterima dan kelengkapan yang tidak mencukupi serta sensitiviti kes keganasan sosial.
Oleh itu, jawatankuasa menegaskan bahawa PDRM perlu menetapkan arahan dan penambahbaikan garis panduan yang terkini yang lebih jelas kepada semua balai-balai polis dan pegawainya, pondok polis, hospital dan pegawai barisan hadapan. Prinsipnya mudah, laporan mesti diterima segera, tindakan awal mesti diambil dan mangsa tidak boleh dipusingkan antara balai atau daerah atas alasan bidang kuasa pentadbiran. Dan saya setuju tadi sebagainya disebut oleh Masjid Tanah bahawa perlu kepada satu cadangan untuk balai ataupun tindakan secara satelit supaya menyelesaikan terutama tempat-tempat yang jauh.
Keempat, jawatankuasa menegaskan penekanan khusus kepada peranan JKM selepas rawatan hospital. OSCC tidak berakhir di pintu keluar hospital, selepas pulang kanak-kanak perlu ditempatkan di tempat yang selamat. Mangsa keganasan rumah tangga mungkin memerlukan emergency protection order, tempat perlindungan sementara, bantuan kebajikan kaunseling dan rawatan susulan.
Oleh itu, antara isu yang dibangkitkan ialah kurang [Tidak jelas] pegawai pelindung selepas waktu pejabat, kelewatan penempatan sementara, kekurangan pegawai JKM di hospital dan beban tugas pelindung yang tidak seimbang antara negeri dan juga daerah.
Seterusnya Yang di-Pertua, kelima, jawatankuasa ingin menegaskan bahawa latihan pasukan barisan hadapan tidak boleh dianggap sebagai latihan sampingan.
OSCC bukan kes biasa, ia memerlukan suatu perkara yang lebih penting kerana melibatkan trauma, ketakutan, risiko malu, risiko keselamatan, kehilangan keluarga, bukti forensik dan implikasi undang-undang. Oleh itu, jawatankuasa ingin menegaskan beberapa perkara kepada kerajaan.
Pertama, kerajaan perlu memberikan komitmen pembiayaan yang jelas kepada OSCC. Tadi dilihat bagaimana masalah tentang digital dan sebagainya perlu kepada penambahan bajet dan peruntukan untuk operasi bagi semua OSCC di semua hospital di seluruh negara dan peranan yang khusus, syor penambahbaikan kekal atas cadangan sekiranya tidak ditambah.
Yang kedua, kerajaan perlu meneliti perwujudan jawatan OSCC di agensi utama. Selagi bergantung kepada pegawai sambilan, kerja ini tidak akan seragam.
Ketiga, KKM perlu mempercepatkan garis panduan OSCC yang baharu dan memastikan pematuhan dipantau melalui audit, pelaporan prestasi dan tindakan pembetulan.
Keempat, PDRM perlu menetapkan pegawai penyelaras OSCC di setiap daerah, garis masa maksimum kehadiran ke hospital dan arahan jelas mengenai pengendalian kes rentas daerah, laporan pihak ketiga dan penerimaan laporan di mana-mana balai.
Kelima, JKM perlu memperkukuhkan respons perlindungan selepas rawatan termasuklah liputan luar ke pejabat, penempatan sementara, pemetaan semula pelindung dan mekanisme tindakan segera bagi kes kanak-kanak serta mangsa kes rumah tangga.
Keenam, KPWKM perlu meneliti pindaan perundangan yang termasuk dengan fungsi pelindung dan pembantu pelindung termasuklah kemungkinan menempatkan pembantu pelindung secara khusus di hospital yang mempunyai OSCC. Tuan Yang di-Pertua, saya juga menyambut baik cadangan yang diberikan oleh pihak— oleh Yang Berhormat Kepala Batas dan juga Alor Setar berkenaan perlunya penglibatan bukan hanya oleh kementerian-kementerian yang saya sebutkan tadi tetapi juga daripada JAKIM dan pihak berkuasa agama kerana kita lihat bahawa pembetulan ataupun penambahbaikan kepada modul kekeluargaan akan membentuk insan yang akan menjaga keselamatan keluarga dalam rumah tangga mereka.
Jadi kita melihat kepada keseluruhan, secara keseluruhan ini kita lihat jawatankuasa menegaskan bahawa ukuran sebenar OSCC bukan kepada bilangan hospital, bukan kepada bilangan orang yang dapat kita selamatkan tetapi pengalaman sebenar mangsa demi mendapatkan bantuan.
Jawatankuasa mentakrifkan usaha yang dilaksanakan oleh KKM, PDRM, JKM dan [Tidak jelas] sebelum ini. Namun jawatankuasa ingin menegaskan bahawa usaha sedia ada masih belum mencukupi. Mangsa keganasan memerlukan sistem yang lebih pantas, tersusun, lebih berempati dan lebih bertanggungjawab.
OSCC mesti menjadi pintu masuk kepada perlindungan dan pemulihan, bukan sekadar tempat mangsa membuat pemeriksaan. Jika sistem ini diperkuat, kita bukan sahaja memperbaiki perkhidmatan hospital tapi memperkukuhkan keseluruhan sistem perlindungan wanita dan kanak-kanak di seluruh negara.
Dan saya pada hari ini tadi agak sedih bila melihat semasa pembentangan tidak ada Yang Berhormat Menteri ataupun Timbalan Menteri, nasib baiklah ada seorang Timbalan Menteri yang hadir pada masa ini kerana ini merupakan isu negara yang sangat penting dan makin kritikal kalau tidak dikawal. Dan kerjasama daripada semua kementerian sangat diperlukan untuk membantu OSCC dan mangsa-mangsa keganasan ini.
Dengan itu, saya memohon supaya kerajaan memberikan perhatian serius kepada syor-syor jawatankuasa dan mengemukakan tindakan susulan yang konkrit bagi memastikan penambahbaikan OSCC dapat dilaksanakan dengan segera.
Sekian, terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Terima kasih Yang Berhormat Tumpat. Yang Berhormat, sekarang selesailah Sesi Penerangan Penyata daripada ahli Jawatankuasa Pilihan pada hari ini.
Ahli-ahli Yang Berhormat, saya menangguhkan Mesyuarat sekarang dan bersambung semula jam 2.30 petang.
[Mesyuarat ditempohkan pada pukul 1.06 tengah hari]
[Mesyuarat disambung semula pada pukul 2.30 petang]
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
[Timbalan Yang di-Pertua (Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor)] **mempengerusikan Mesyuarat****]
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
[Membaca doa] Yang Berhormat Menteri, silakan.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan - Datuk Chan Foong Hin
Tuan Yang di-Pertua, saya mohon mencadangkan iaitu bahawa rang undang-undang bernama suatu akta untuk meminda Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 dibacakan kali yang kedua sekarang.
Tuan Yang di-Pertua, isu keterjaminan makanan, khususnya bekalan padi dan beras adalah isu nasional yang menyentuh terus denyut nadi kehidupan seharian setiap lapisan rakyat Malaysia. Daripada golongan pesawah yang membanting tulang di bendang hinggalah ke meja hidangan keluarga di rumah.
Malah, ia adalah paksi utama yang berkait rapat dengan maruah, kedaulatan serta keselamatan strategik negara kita.
Hari ini kita berhadapan dengan landskap global yang semakin mencabar, dinamik dan sering kali tidak menentu. Dunia kini dicirikan oleh ancaman nyata perubahan iklim extreme yang menjejaskan hasil tuaian, ketidaktentuan geopolitik antarabangsa yang boleh melumpuhkan rangkaian bekalan luar negara pada bila- bila masa serta tekanan inflasi dan peningkatan kos sara hidup yang menghimpit keupayaan ekonomi rakyat.
Seiring dengan peredaran masa, dinamik pasaran serta perkembangan semasa industri, kementerian mendapati terdapat ruang bagi melaksanakan penambahbaikan dalam Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 atau Akta 522 yang telah diwujudkan untuk mengawal selia industri padi dan beras negara. Atas dasar itu, Jemaah Menteri pada 10 Disember 2025 telah bersetuju agar Akta 522 dipinda.
Langkah ini amat kritikal bagi memastikan keberkesanan mekanisme mengawal selia industri, sekali gus memastikan peranan serta fungsi undang- undang ini kekal relevan, dinamik dan efisien dalam konteks pembangunan industri padi dan beras negara.
Ingin saya tegaskan di sini bahawa dalam usaha melaksanakan penambahbaikan kepada akta ini, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sentiasa mendukung prinsip keterangkuman dengan mengambil kira pandangan semua pihak berkepentingan atau dengan izin, stakeholders. Dalam melaksanakan proses pindaan ini, kementerian juga telah melalui proses Regulatory Impact Analysis (RIA) di bawah Malaysia Productivity Corporation
(MPC) dan pihak MPC telah menetapkan supaya pihak kementerian melaksanakan semakan pasca pelaksanaan dengan izin, post implementation review dalam tempoh dua tahun selepas pelaksanaan tersebut.
Bagi memastikan pindaan ini bersifat holistik dan adil, KPKM telah melaksanakan beberapa siri sesi libat urus yang komprehensif. Antaranya kementerian telah menganjurkan satu sesi libat urus (SLU) pindaan Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 [Akta 522] yang berlangsung pada 18 Jun 2026, Khamis yang melibatkan seramai 137 orang pemain industri yang terdiri daripada wakil-wakil persatuan pengilang, persatuan pemborong dan persatuan peruncit serta wakil-wakil daripada persatuan pengguna daripada seluruh Malaysia, termasuk Sabah dan Sarawak.
Seterusnya, bagi memperkukuh semak dan imbang dari aspek perundangan dan dasar, KPKM turut menghadiri beberapa siri mesyuarat bersama Ahli-ahli Parlimen iaitu Mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Perdagangan Dalam Negeri Keusahawanan, Kos Sara Hidup dan Pertanian, Parlimen Ke-15, Bilangan 15 Tahun 2026 yang telah diadakan pada 23 Jun 2026, Selasa dan Mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Perdagangan Dalam Negeri Keusahawanan, Kos Sara Hidup dan Pertanian, Parlimen Ke-15 Bilangan 20 Tahun 2026 yang berlangsung pada 8 Julai 2026.
Siri libat urus dan mesyuarat berkala ini telah menjadi medan penting dalam memperincikan input, memperkemas instrumen perundangan serta menyelaraskan hasrat kerajaan dengan realiti industri di peringkat akar umbi.
Sejak penggubalannya, Akta 522 telah melalui beberapa pindaan utama iaitu pada tahun 2023 yang melibatkan penambahbaikan iaitu memberi kuasa kepada Menteri untuk melantik seorang atau apa-apa bilangan pegawai awam sebagai Timbalan Ketua Pengarah bagi membantu Ketua Pengarah melaksanakan kewajipan dan fungsi yang diberikan kepadanya di bawah Akta 522.
Selain itu, pindaan ini turut memperkenalkan satu seksyen baharu ditambah iaitu seksyen 28A yang memberi kuasa kepada Menteri dengan kelulusan pendakwa raya untuk menetapkan melalui peraturan-peraturan kesalahan yang boleh dikompaun dan kaedah serta tatacara bagi mengkompaun kesalahan.
Tuan Yang di-Pertua, secara amnya Rang Undang-undang RUU Kawalan Padi dan Beras (Pindaan) 2026 ini digubal berteraskan dua perkara utama iaitu cadangan pindaan substantif kepada subseksyen sedia ada dan mewujudkan subseksyen baharu. Penggubalan ini dizahirkan melalui lima fasal penting seperti berikut.
Fasal 1 mengandungi tajuk ringkas undang-undang ini dan peruntukan mengenai permulaan kuat kuasa akta yang dicadangkan. Fasal ini penting bagi memberikan kejelasan dari aspek perundangan dan garis semasa penguatkuasaan kepada seluruh rantaian industri.
Fasal 2 bertujuan untuk meminda subseksyen 4(2) Akta 522. Pindaan ini memberikan kuasa khusus kepada Ketua Pengarah, tertakluk kepada kelulusan Menteri terlebih dahulu untuk menguatkuasakan harga maksimum atau minimum bagi padi atau beras. Pindaan substantif ini amat penting sebagai langkah intervensi pantas bagi mengekang sebarang manipulasi harga di pasaran yang boleh menjejaskan kebajikan pesawah mahupun pengguna. Fasal ini juga adalah berbangkit daripada pindaan dibuat kepada seksyen 29 Akta 522 yang kini memberi kuasa kepada Menteri untuk menetapkan gred beras dan kawalan harga bagi beras berkenaan.
Fasal 3 pula merupakan langkah tegas kementerian dalam menangani isu ketidakpatuhan undang-undang. Fasal ini bertujuan meminda seksyen 22 Akta 522 bagi menaikkan kadar denda am terhadap kesalahan yang penaltinya tiada diperuntukkan secara nyata.
Kadar denda sedia ada amat rendah dan tidak lagi mampu memberi kesan pencegahan, dengan izin deterrent effect yang maksimum terhadap penyelewengan skala besar. Pindaan ini dipecahkan dua subfasal. Subfasal 3(a) melibatkan individu selain pertubuhan perbadanan tetapi termasuk pengarah atau pegawai sesebuah pertubuhan perbadanan. Kadar denda dinaikkan daripada amaun tidak melebihi RM15,000 kepada amaun tidak melebihi RM250,000.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan - Datuk Chan Foong Hin
Bagi kesalahan kali kedua atau berikutnya, denda dinaikkan daripada tidak melebihi RM25,000 kepada amaun tidak melebihi RM500,000. Subfasal 3(b) melibatkan pertubuhan, perbadanan atau entiti komersial. Kadar denda dinaikkan daripada tidak melebihi RM25,000 kepada amaun tidak melebihi RM500,000.
Manakala bagi kesalahan kali kedua atau berikutnya denda dinaikkan daripada tidak melebihi RM50,000 kepada amaun tidak melebihi RM1 juta.
Fasal 4 bertujuan meminda seksyen 29 Akta 522 bagi memberi perluasan kuasa kepada Menteri untuk membuat peraturan-peraturan yang lebih menyeluruh.
Peraturan ini meliputi aspek pelesenan membeli padi, penetapan gred beras serta kawalan harga bagi beras bergred itu dan juga kawalan larangan atau pengawalseliaan permintaan fizikal padi atau beras bagi mengekang aktiviti penyorokan atau penyeludupan.
Selain itu, fasal ini memperuntukkan bahawa mana-mana perlanggaran peraturan boleh ditetapkan sebagai satu kesalahan dengan penalti denda tidak melebihi RM15,000 atau pemenjaraan tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.
Fasal 5 memperkatakan tentang peruntukan kecualian, saving provision.
Fasal ini memastikan bahawa apa-apa siasatan atau prosiding undang-undang yang telah dimulakan atau yang masih belum selesai sebelum tarikh kuat kuasa akta ini hendaklah diteruskan seolah-olah akta ibu tidak dipinda. Ini penting bagi memastikan kelancaran transisi perundangan tanpa menjejaskan kes-kes yang sedang berjalan di mahkamah.
Tuan Yang di-Pertua, penggubalan RUU pindaan ini adalah manifestasi dan komitmen penuh kerajaan dalam memelihara ekosistem industri padi dan beras negara. Melalui pemerkasaan penguatkuasaan dan peningkatan penalti, kerajaan menghantar isyarat yang jelas bahawa tiada kompromi terhadap mana-mana pihak yang cuba mengganggu gugat kestabilan bekalan makanan ruji rakyat demi mengaut keuntungan peribadi.
Besar harapan saya agar Ahli Yang Berhormat di dalam Dewan yang mulia ini dapat bersama-sama membahaskan, menyokong dan seterusnya meluluskan Rang Undang-undang Kawalan Padi dan Beras (Pindaan) 2026 ini demi kemaslahatan pesawah kita, kestabilan industri kita dan sekuriti makanan seluruh rakyat Malaysia. Tuan Yang di-Pertua, saya mohon mencadangkan. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Ada sesiapa Yang Berhormat menyokong?
Timbalan Menteri Digital - Datuk Wilson Ugak anak Kumbong
Dato' Yang di-Pertua, saya mohon menyokong.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Ahli-ahli Yang Berhormat, masalah di hadapan Majlis ialah rang undang-undang bernama suatu akta untuk meminda Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 dibaca kali kedua sekarang dan terbuka untuk dibahaskan.
Yang Berhormat, terdapat 21 orang Yang Berhormat yang akan berbahas.
Mereka yang akan berbahas adalah Yang Berhormat Rasah, Yang Berhormat Sungai Besar, Yang Berhormat Sri Aman, Yang Berhormat Sabak Bernam, Yang Berhormat Kota Melaka, Yang Berhormat Merbok, Yang Berhormat Sipitang, Yang Berhormat Kuala Kedah, Yang Berhormat Tenom, Yang Berhormat Parit Buntar, Yang Berhormat Kota Belud, Yang Berhormat Baling, Yang Berhormat Jempol, Yang Berhormat Kangar, Yang Berhormat Tuaran, Yang Berhormat Padang Terap, Yang Berhormat Sik, Yang Berhormat Kepong, Yang Berhormat Kulim-Bandar Baharu, Yang Berhormat Pasir Salak dan akhirnya Yang Berhormat Seputeh. Dengan itu dipersilakan Yang Berhormat Rasah.
Tuan Cha Kee Chin - Rasah
Terima kasih kepada Dato' Yang di-Pertua atas peluang yang diberikan untuk saya turut serta dalam membahaskan rang undang- undang yang akan meminda Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 iaitu Akta 522 pada petang ini. Saya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Perdagangan Dalam Negeri, Keusahawanan, Kos Sara Hidup dan Pertanian telah dua kali berlibat urus dengan wakil daripada KPKM berkaitan dengan pindaan ini.
Secara dasarnya, secara umumnya, kami menyokong pindaan yang dikemukakan, yang dibentangkan oleh Yang Berhormat Timbalan Menteri sebentar tadi sebab ada keperluan. Tetapi dalam kami menyokong, ada beberapa persoalan yang saya rasa wajar untuk diketengahkan dan untuk dijelaskan oleh pihak kerajaan berkenaan dengan perkara ini.
Yang pertamanya, ini adalah akta yang sangat mustahak, inilah akta utama yang mengawal industri penanaman padi di negara kita dan kita sedia maklum dalam kita menyebut dalam keterjaminan makanan. Kalau kita tak boleh nak menghasilkan beras putih tempatan yang secukupnya, tiada makna kita menguar-uarkan keterjaminan makanan sebab nasi adalah makanan ruji rakyat Malaysia. Ini makanan nombor satu yang tiada alternatif, tak ada pelan B. Dia hanya satu pelan sahaja.
Jadi, persoalan saya sebelum saya ke seksyen yang disebutkan oleh Yang Berhormat Timbalan Menteri tadi, saya nak tanya berkenaan dengan SSR. SSR beras putih tempatan— kalau saya berikan satu fakta yang ada pada saya, tahun 2022, 62.6 peratus; tahun 2023, 56.2 peratus; tahun 2024, 52.9 peratus. Dan saya tanya dalam Dewan ini, soalan saya macam mana dengan tahun 2025 masih dikatakan— masih belum dimuktamadkan tapi nampak trend itu kurang baik. Saya nak tanya kepada kerajaan, apakah dengan adanya pindaan ke atas Akta 522 ini SSR kita akan meningkat semula, boleh mencapai sasaran sekurang-kurangnya 70 peratus menjelang tahun 2030. Itu persoalan saya.
Perkara kedua yang saya nak bangkitkan Dato' Yang di-Pertua adalah berkenaan dengan seksyen 42C iaitu menukar perkataan ‘menetapkan’ kepada ‘menguatkuasakan’. Saya menyokong pemisahan kuasa yang jelas antara Menteri dengan ketua pengarah sebab kita kena pastikan punca kuasa, bidang kuasa setiap pegawai kanan jelas dan tidak mengelirukan. Sebab saya tahu ada orang yang jadi Exco itu dia gila kuasa nanti dia fikir dia pun ada kuasa. Saya tak mahu sebut lanjut nanti saya tahu ada Yang Berhormat lain yang akan sebut secara jelas siapa yang gila kuasa itu.
Seterusnya seksyen 22 berkenaan dengan penalti yang dinaikkan. Kita tahu penalti asal itu sejak tahun 1994, 32 tahun tak pernah dipinda, 30 puluh tahun banyak telah berubah. Jumlah penalti ataupun denda ketika itu yang mungkin relevan, yang mungkin boleh mendatangkan perasaan takut kepada siapa-siapa yang nak buat kesalahan, waktu itu mungkin tak relevan ketika ini, itu saya setuju. Cuma saya nampak apa yang RM15,000 itu naik RM250,000, RM25,000 naik kepada setengah juta, RM50,000 naik RM1 juta. Macam mana pihak kerajaan nak menjustifikasikan hampir 20 kali ini.
Saya tak membantah, saya menyokong kenaikan digandakan ada keperluan tapi cuma 20 kali itu macam mana nak justifikasikan. Apakah pihak kementerian ada merujuk kepada akta lain yang dilakukan sedemikian rupa dan juga bagaimana dengan kesalahan-kesalahan, rekod kesalahan yang dilakukan sebelum ini?
Seterusnya seksyen 29, dia ada disebutkan kesalahan ataupun penalti khusus yang memberikan kuasa kepada Yang Berhormat Menteri berkenaan dengan kesalahan-kesalahan yang tidak membawa impak besar iaitu impak minima. Saya nak sebutkan dalam Dewan yang mulia ini, hari ini kita dapat Menteri, Kota Raja, Menteri yang cukup baik. Menteri yang telus, Menteri yang tak tipu tapi satu hari kalau kita dapat Menteri yang lain macam beza dengan Kota Raja apa jadi kalau kita berikan kuasa yang lebih kepada Menteri berkenaan dengan perkara ini.
Siapa yang akan buat tafsiran berkenaan dengan impak minima ini? Saya berikan satu contoh. Seandainya kesalahan yang dilakukan itu adalah kesalahan invois tidak lengkap iaitu siapa pembeli, maklumat pembeli, butiran pembeli tak direkodkan, apakah ini juga dianggap kesalahan minima?
Saya rasa tidak, saya kena sebut sebab pembeli ini dia boleh mendatangkan mudarat yang besar kalau kita tak tahu siapa yang beli. Jadi, macam mana nak menjustifikasikan impak minima ini? Saya minta pihak kerajaan supaya memberikan penjelasan yang sejelas-jelasnya berkenaan dengan perkara ini.
Seterusnya Dato' Yang di-Pertua, saya ambil masa tambahan sedikit iaitu akta ini Akta 522 asalnya sebelum tahun 1994, digubal kita ada Akta 47 iaitu Akta Lembaga Padi dan Beras 1971.
Tuan Cha Kee Chin - Rasah
Ketika itu kita ada Lembaga Padi dan Beras Negara. Lepas itu dibubarkan dan diganti dengan Padiberas Nasional Berhad ataupun BERNAS yang ada pada ketika ini. Kita sering kali bila masalah beras putih tempatan kurang dan sebagainya, harga dan sebagainya. Kita menuding jari pada kerajaan. Menteri, Timbalan Menteri, ketua pengarah semua jadi target ataupun sasaran kemarahan. Apa peranan BERNAS? Saya rasa rakan-rakan saya, termasuk Pasir Gudang pernah berulang kali sebut bahawa kenapa monopoli ini, BERNAS ini kita benarkan berterusan?
Saya tahu kita ada perjanjian konsesi yang ditandatangani Beluran, waktu Beluran menjadi Menteri MAFI. Kalau tidak silap saya tahun 2022, ada 10 tahun lagi.
Apakah ada usaha daripada kerajaan, KPKM hari ini untuk menyemak semula konsesi dengan BERNAS? Saya tak nampak peranan yang utama, peranan yang aktif dan proaktif untuk membantu kerajaan mengatasi masalah ini daripada BERNAS. Sebab BERNAS ini dia pemegang lesen sebagai pengimport tunggal.
Kalau nak import tu dia. Maknanya kuasa itu dia pegang, beras import tu sangat tinggi. Jadi, apa pandangan kerajaan?
Dan yang terakhir Dato' Yang di-Pertua, berkenaan dengan beras putih tempatan dan beras putih import ni. Selama ini kita tak boleh campur tapi kenapa— mungkin ada Yang Berhormat dalam Dewan ini pun tak tahu lagi. Bulan Disember tahun lepas, dia boleh campur pula. Selama ini tak boleh campur, satu kesalahan.
Tiba-tiba pula boleh campur. Apa justifikasi? Apakah perkara ini kita buat dia mendatangkan manfaat kepada satu, rakyat kita yang makan nasi macam kita lah?
Hari-hari makan nasi. Yang keduanya, kepada pesawah kita.
Saya nak tanya, kenapa dibuat macam ini? Walaupun dua perkara yang saya sebutkan ini tak termasuk dalam pindaan yang dicadangkan tapi ini perkara dasar, perkara pokok yang saya rasa sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Parlimen yang berkaitan dengan pertanian, saya ada tanggungjawab, rasa terpanggil untuk kemukakan di sini supaya pihak kerajaan boleh mengambil peluang pindaan ke atas Akta 522 pada hari ini boleh terangkan kepada rakyat.
Saya faham, kerajaan ada alasan dia. Dia mesti pegawai kanan, pihak agensi yang berkaitan telah membuat kajian, cuma kena terangkan. Kalau tidak, bukan setakat saya, rakan-rakan saya dalam jawatankuasa pun tertanya-tanya, kenapa boleh jadi perkara macam ini. Jadi, sekian saja. Tapi secara dasarnya memang saya menyokong penuh cadangan ataupun pembentangan yang dilakukan oleh Yang Berhormat Timbalan Menteri untuk meminda Akta 522 ini. Sekian, terima kasih Dato' Yang di-Pertua.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Terima kasih. Berikut, dipersilakan Yang Berhormat Sungai Besar.
Datuk Muslimin bin Yahaya - Sungai Besar
*Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh. Salam sejahtera, selamat petang. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua atas kesempatan Sungai Besar bersama dalam perbahasan berkaitan pindaan Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 [Akta 522].* Ini Tuan Yang di-Pertua berkaitan soal kawal selia industri, melindungi kebajikan para pesawah serta pemain industri dalam rantaian padi dan beras.
Tuan Yang di-Pertua, kita tahu pengeluaran padi adalah di bawah Dasar Jaminan Makanan Negara. Ini food security kita yang sangat penting. Ini makanan ruji kita, makanan utama orang Malaysia, beras mesti ada di dapur dan nasi mesti ada di atas meja. Harganya pula Tuan Yang di-Pertua, perlu murah dan rakyat berhak membuat pilihan membeli ikut kemampuan.
Tuan Yang di-Pertua, sawah kita lebih 500,000 hektar. Pesawah kita lebih 190,000 orang. Hasil padi antara 2.2 hingga 2.5 juta tan metrik. Bila diproses, jadilah kira-kira 1.3 juta tan metrik beras ataupun 1.3 bilion kilogram. Bukan sedikit, tetapi dua tahun lepas kita kehilangan beras kita. Ke mana perginya?
Sebab itu akta ini sangat penting untuk memastikan tiada peniaga beras yang berniaga tanpa lesen, tiada penjual menjual melebihi harga kawalan, tiada yang menyorok beras atau padi, tiada stor-stor simpanan yang menyimpan stok beras melebihi had kuantiti yang dibenarkan, tiada gudang beras yang menyimpan beras tanpa lesen, tiada sesiapa memindahkan beras melepasi sempadan tanpa permit dan yang paling penting, tiada yang ambil kesempatan menyeleweng gred dan pembungkusan beras putih seperti yang ditetapkan. Maka sebab itu, hari ini kita bahas berkaitan Akta 522 supaya kepentingan negara dan kepentingan rakyat terjamin.
Tuan Yang di-Pertua, yang ini saya bersetuju dengan Rasah. Pada 9 Oktober 2024, laporan Sinar Harian menyatakan KPKM perkenal larangan campuran beras tempatan dan beras import dan Menterinya berkata pekeliling berkaitan peraturan ini akan dikeluarkan dalam masa terdekat. Dan dalam media sosial FB Yang Berhormat Menteri pada 10 Oktober 2024, posting-nya tertulis, “Pekeliling melarang campuran beras putih tempatan dengan beras putih import akan dikeluarkan dalam masa terdekat”. Alih-alih, pindaan seksyen 29(1) membuat peraturan. Ini Rasah dah terangkan tadi. Membuat keputusan Jemaah Menteri pada 7 November 2025 dan 5 Disember 2025 berhubung membenarkan pencampuran beras putih dan mengemas kini gred-gred beras sedia ada.
Ini maksudnya pencampuran antara beras tempatan dengan beras import.
Jadi andai kata adakah ini— adakah kebenaran ini sah? Sebab yang ini kita nak minta penjelasan yang tuntas daripada Yang Berhormat Menteri. Rakyat tak tahu yang hari ini kita keluarkan beras dicampur dengan beras import. Kemudian kita terpaksa beli dengan harga yang mahal dan membebankan kumpulan golongan B40.
Dato’ Rosol bin Wahid - Hulu Terengganu
Sungai Besar, sedikit. Boleh?
Datuk Muslimin bin Yahaya - Sungai Besar
Boleh.
Dato’ Rosol bin Wahid - Hulu Terengganu
Terima kasih Tuan Yang di- Pertua. Setuju tak Sungai Besar bahawa dengan membenarkan percampuran beras tempatan dengan beras putih import menjadikan beras tempatan hilang daripada market, daripada pasaran. Apa pandangan Sungai Besar. Terima kasih.
Datuk Muslimin bin Yahaya - Sungai Besar
Saya setuju dan kita mohon supaya Yang Berhormat Menteri nanti menjawab berkaitan itu. Kalau sudah dibenarkan percampuran beras import dan beras tempatan yang ditanam oleh pesawah kita, saya mohon dan mencadangkan kementerian dan kerajaan menurunkan harga beras, menetapkan semula harga beras supaya lebih murah, rakyat ada pilihan membeli beras ikut kemampuan, bukan terpaksa bayar mahal untuk membeli beras import. Padahal dicampur dengan beras yang pesawah kita tanam.
Tuan Kalam bin Salan - Sabak Bernam
Sungai Besar, Sungai Besar.
Boleh?
Datuk Muslimin bin Yahaya - Sungai Besar
Bagi saya peluang teruskan.
Masa rehat dah habis.
Tuan Yang di-Pertua, tanpa prejudis menyokong pindaan ini terutamanya pindaan seksyen 22 berkaitan penalti am, Akta Perihal Perdagangan 2011 [Akta 730] yang memberi penalti yang sangat maksimum, termasuk Akta Kawalan 1991 [Akta 122] yang menetapkan kesalahan pertama, kesalahan kedua hingga RM1 juta bagi pemborong ataupun perbadanan pertubuhan.
Kenapa saya sokong? Rakyat di bawah mahu pengilang, pemborong dan peniaga-peniaga ini ada sedikit kegentaran. Jangan macam dulu, beras tempatan ghaib walaupun banyak kilang kita adalah pemegang lesen pengeluar beras tempatan, tiba-tiba beras kita tak ada di pasaran. Beras kita sama ada disorok, ada manipulasi harga, menjual melebihi harga kawalan ataupun disimpan atas tujuan supaya permintaan melebihi penawaran dan harga beras meningkat naik. Dan saya menyeru supaya dikawal kemasukan beras import ini. Sebagaimana kata Rasah tadi, kita mahu pengeluaran beras tempatan diutamakan. Pesawah kita diberi keistimewaan mengeluarkan padi dengan potongan yang rendah.
Satu lagi Tuan Yang di-Pertua, saya menyokong subseksyen 4(2) yang menjelaskan kuasa Menteri dan ketua pengarah menguatkuasakan harga maksimum dan minimum padi dan beras. Yang ini saya suka, rakyat, pesawah pun suka. Yang Berhormat Menteri gunakanlah kuasa di bawah seksyen 4(2) supaya menaikkan harga lantai padi.
Harga kos pengurusan sawah adalah antara RM6,000 per hektar tidak termasuk sewaan. Kadang-kadang cecah RM9,000 atau bersamaan 4.5 tan metrik per hektar. Maknanya Yang Berhormat Menteri dapat 4.5 tan, baliklah modal. Kalau kurang daripada itu, keluarlah duit poket sendiri.
Maka atas kuasa Menteri yang bakal kita luluskan sebentar lagi berkaitan dengan rang undang-undang ini di bawah subseksyen 4(2), sesuailah kalau harga lantai padi dinaikkan antara RM2,500 hingga RM3,000 per tan termasuk subsidi.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Saya mohon menyokong pindaan ini. Terima kasih.
[Tepuk]
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Terima kasih Yang Berhormat. Berikut, dipersilakan Yang Berhormat Sri Aman.
Dato’ Sri Doris Sophia anak Brodi - Sri Aman
Terima kasih Tuan Yang di- Pertua. Setelah meneliti Rang Undang-undang Kawalan Padi dan Beras (Pindaan) 2026 ini, saya rasa saya tidak mempunyai sebarang halangan untuk menyokong pindaan yang dicadangkan kerana saya melihat objektifnya jelas iaitu bertujuan memperkukuhkan penguatkuasaan terhadap kesalahan berkaitan dengan padi dan beras demi menjamin integriti rantaian bekalan makanan negara.
Tuan Yang di-Pertua, kita harus menginsafi bahawa isu padi dan beras bukan lagi sekadar isu pertanian atau komoditi. Hari ini, ia merupakan isu sekuriti makanan negara yang menyentuh kepentingan strategik negara serta memberi kesan secara langsung kepada kehidupan hampir 35 juta rakyat Malaysia yang bergantung kepada beras sebagai makanan asasi atau makanan ruji setiap hari.
Oleh itu, sebarang kelompongan undang-undang termasuk kelemahan dalam penguatkuasaan, ketirisan, penyelewengan atau manipulasi dalam rantaian bekalan padi dan beras bukan sahaja menjejaskan pesawah dan pengguna, malah boleh mengancam kestabilan bekalan makanan negara serta meningkatkan kos sara hidup rakyat.
Tuan Yang di-Pertua, walaupun saya menyokong RUU ini, namun saya terpanggil untuk membangkitkan beberapa perkara yang pada hemat saya memerlukan penjelasan dan jaminan daripada pihak kerajaan atau kementerian.
Pertama, tentang keberkesanan penguatkuasaan. Saya melihat RUU ini memperuntukkan peningkatan penalti yang amat ketara ataupun amat signifikan iaitu individu boleh didenda sehingga RM250,000 bagi kesalahan pertama dan RM500,000 bagi kesalahan berikutnya. Manakala syarikat boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta, Tuan Yang di-Pertua.
Bagi saya, persoalannya bukanlah sama ada hukuman itu berat atau ringan, akan tetapi siapakah yang sebenarnya akan menerima hukuman tersebut? Adakah enforcement atau penguatkuasaan benar-benar akan menyasarkan dalang utama yang mengawal rantaian bekalan, pihak yang memanipulasi pasaran, mereka yang menyorok stok, mereka yang menyeludup beras termasuk yang mengeksploitasi subsidi, atau akhirnya yang diambil tindakan hanyalah ikan bilis, Tuan Yang di- Pertua, atau individu di peringkat operasi yang tidak mempunyai kuasa membuat keputusan?
Oleh itu, saya berharap kementerian dapat memberi jaminan bahawa tindakan penguatkuasaan akan berasaskan tahap kesalahan, prinsip keadilan dan kepentingan awam, bukannya sekadar mengejar statistik tangkapan.
Kedua, seksyen 29 RUU ini dilihat memberikan kuasa kepada Menteri untuk menetapkan gred serta kawalan harga beras. Saya tidak ada masalah, Tuan Yang di-Pertua, dengan kuasa tersebut, termasuk juga berkaitan pelesenan pembelian padi. Namun, saya ingin mengingatkan bahawa kuasa yang luas harus dan mestilah diseimbangkan dengan tahap akauntabiliti yang tinggi. Yang diberi kuasa besar itu mesti bertanggungjawab atas setiap keputusan dan tindakan mereka.
Selain itu, penetapan gred juga hendaklah dibuat berdasarkan piawaian saintifik yang jelas, telus dan boleh diaudit, selain melalui libat urus bersama pesawah, pengilang, pemborong, peruncit serta persatuan pengguna. Semua ini penting, Tuan Yang di-Pertua, bagi menjamin keadilan semua pihak.
Hari ini pengguna berdepan dengan pelbagai label di pasaran, seperti yang telah disebut oleh rakan-rakan saya tadi ya, seperti beras tempatan, beras import, beras premium, Super Special, Super Wangi, long grain, short grain, whatever grain dan sebagainya. Tetapi, sejauh manakah pengguna benar-benar memahami perbezaan kualiti di sebalik setiap label tersebut?
Kadang-kadang yang dilabelkan super special nampak macam beras hancur atau pun beras campur, pun ada di pasaran. Lebih membimbangkan ialah sekiranya sistem grading atau penggredan akhirnya membuka ruang kepada manipulasi komersial sehingga pengguna membayar harga premium bagi produk yang tidak setimpal dengan kualitinya.
Ketiga, RUU ini memperkukuhkan aspek penguatkuasaan. Namun, persoalannya yang lebih besar ialah adakah penguatkuasaan semata-mata mampu menjamin sekuriti makanan negara?
Tuan Yang di-Pertua, apabila berlaku perubahan iklim ataupun banjir, El Nino atau gangguan rantaian bekalan global, masalah sebenar bukan sekadar penguatkuasaan tetapi kekurangan bekalan. Jadi, apakah strategi jangka panjang kerajaan untuk meningkatkan kadar sara diri ataupun self-sufficient level, dengan izin, beras negara agar kebergantungan kepada import dapat dikurangkan secara berperingkat? Saya rasa, Tuan Yang di-Pertua, kita tidak boleh bergantung kepada tindakan penguatkuasaan semata-mata jika pengeluaran domestik masih tidak mencukupi.
Keempat, dalam setiap perbincangan atau perbahasan mengenai harga beras, saya nampak, Tuan Yang di-Pertua, fokus kita sering tertumpu kepada pengguna, the user ya. Namun, kita juga mesti dan harus bertanya siapakah yang paling banyak menanggung risiko dalam keseluruhan rantaian ini. Sudah tentu para pesawah. Mereka berhadapan dengan bukan sahaja peningkatan kos baja, malah kos racun, kos jentera, upah pekerja serta ketidaktentuan cuaca akibat perubahan iklim.
Jika pulangan terus tidak setimpal dengan kos pengeluaran, kita bukan sahaja kehilangan pesawah, malah kehilangan kapasiti negara untuk menghasilkan makanan sendiri. Sekuriti makanan tidak akan dapat dipertahankan sekiranya golongan pengeluar terus dipinggirkan, Tuan Yang di-Pertua.
Kelima― bagi saya sedikit masa, Tuan Yang di-Pertua, so that I can land smoothly, dengan izin. Dalam melaksanakan akta ini, saya berharap kerajaan tidak menggunakan pendekatan yang seragam tanpa mengambil kira realiti geografi negara. Kos logistik ke Sabah dan Sarawak, Tuan Yang di-Pertua, jauh lebih tinggi menyebabkan harga beras di banyak kawasan luar bandar kekal lebih mahal. Oleh itu, mekanisme pelaksanaan hendaklah cukup fleksibel bagi memastikan rakyat di Sarawak dan Sabah menikmati akses kepada bekalan beras yang mencukupi pada harga yang adil.
Keenam, Tuan Yang di-Pertua, kita kini berada di era digital, di era AI. Maka, saya rasa wajar kementerian beralih daripada pendekatan penguatkuasaan yang bersifat reaktif kepada sistem pemantauan yang bersifat pencegahan. Penggunaan kod QR, sistem pengesanan rantaian bekalan, analitik data dan pemantauan stok secara masa nyata mampu meningkatkan ketelusan mengesan penyelewengan lebih awal dan mengurangkan kebergantungan kepada operasi serbuan semata- mata.
Jadi, akhir sekali, Tuan Yang di-Pertua, saya juga ingin menyentuh budaya pematuhan. Kita semua sedia maklum bahawa matlamat undang-undang bukan sekadar menghukum tetapi membentuk pematuhan. Oleh itu, selain tindakan penguatkuasaan, saya rasa kerajaan juga perlu memperkukuhkan pendidikan membimbing dan kesedaran kepada semua pemain industri supaya mereka memahami tanggungjawab serta kehendak undang-undang. Kerana pendekatan yang mengimbangi pendidikan dan penguatkuasaan, lazimnya lebih berkesan dalam membentuk pematuhan jangka panjang.
Sekian, terima kasih. Saya mohon menyokong.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Terima kasih Yang Berhormat. Sekarang dipersilakan Yang Berhormat Sabak Bernam.
Tuan Kalam bin Salan - Sabak Bernam
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Rang Undang-undang Kawalan Padi dan Beras (Pindaan) 2026.
Tuan Yang di-Pertua, terlebih dahulu, saya mengucapkan takziah kepada Yang Berhormat Beluran di atas pemergian ibunya pada pagi tadi― meninggal dunia.
Saya melihat pindaan ini mempunyai niat yang baik― hukuman diperketat, kuasa diperkemas, penguatkuasaan diperkukuh. Tapi, saya bimbang, kita terlalu sibuk menjaga beras di gudang sedangkan kita lupa menjaga benih di sawah.
Tuan Yang di-Pertua, fasal 2 memberi kuasa kepada pengarah untuk kelulusan Menteri menguatkuasakan harga maksimum atau minimum padi dan beras. Saya menyambut baik langkah ini. Tapi, saya ingin bertanya, apa maknanya harga minimum kalau hasil yang dijual akhirnya kena potong maksimum? Pesawah gembira mendengar harga-harga tetapi apabila sampai ke pusat belian, harga cuma naik sedikit, potongan pula naik banyak. Di sinilah pesawah mula nak bertanya siapa yang untung, siapa yang rugi.
Fasal 2, Tuan Yang di-Pertua. Kesalahan individu denda sehingga RM250,000, kesalahan berulang sehingga RM500,000. Kesalahan syarikat sehingga RM500,000, boleh cecah RM1 juta bagi kesalahan yang berulang. Saya menyokong.
Tapi, kalau menipu dihukum, kalau menyorokkan padi dihukum, kalau manipulasi haram pasaran dihukum tetapi jangan hanya hukum sintium sehingga kita lupa mencari penyakitnya. Kerana semua tumpuan diberi kepada yang menjual padi.
Siapa pula yang memeriksa orang yang membekalkan benih?
Tuan Kalam bin Salan - Sabak Bernam
Fasal yang ke-4, kuasa kepada Menteri membuat peraturan berkaitan pelesenan, membeli padi, penetapan gred beras, kawalan harga dan pemindahan padi serta beras. Di sini saya ingin mencadangkan satu perkara. Kalau kerajaan benar-benar mahu melakukan reformasi, jangan berhenti di kilang, jangan berhenti di gudang, jangan berhenti di pusat belian. Pergilah hingga ke tempat belian benih dilahirkan, kerana segala-galanya bermula di situ.
Benih nukleus asalnya tulen, benih asas mestilah kekal berkualiti. Benih daftar mestilah dipantau. Benih sah mestilah benar-benar sah. Satu mata rantai putus, seluruh sistem akan rebah. Kalau benih tidak tulen, pokok tidak tumbuh sekata. Kalau pokok tidak tumbuh sekata, padi tidak masak serentak. Kalau tidak masak serentak, potongannya meningkat. Akhirnya, yang dipotong bukan sekadar padi. Yang dipotong ialah rezeki pesawah.
Saya ingin bertanya kepada Menteri, adakah kementerian pernah mengkaji hubungan antara mutu benih sah dan kadar potongan di pusat belian? Berapa lot benih sah gagal memenuhi piawaian setiap tahun? Yang ini merugikan petani.
Adakah setiap lot boleh dikesan daripada benih nukleus sehingga sampai ke tangan pesawah? Kalau sebuah kereta ada nombor casis, kalau seekor lembu ada tag di telinga, mengapa benih yang menentukan kawalan, menentukan makanan negara tidak mempunyai sistem kebolehkesanan yang mantap?
Fasal 5 Yang di-Pertua, hanya peruntukan peralihan. Saya tidak membantah tapi saya berharap semangat peralihan bukan sekadar berpindah daripada akta kepada akta lama kepada akta baharu. Berubahlah secara kita melihat masalah.
Selama ini kita terlalu mudah menyalahkan pesawah. Padi tidak cantik, salah pesawah. Hasil rendah, salah pesawah. Potongan tinggi, salah pesawah tetapi pernahkah kita bertanya? Benih yang dibekalkan itu bagaimana? Kerana pesawah tidak mencipta benih nukleus, pesawah tidak mengeluarkan benih asas, pesawah tidak meluluskan benih daftar, pesawah hanya membeli benih sah dengan harapan hasilnya juga sah. Kalau benih gagal, jangan seluruh beban dipikul oleh pesawah.
Yang di-Pertua, kalau mahu menjaga makanan negara, jangan hanya kuat menghukum. Kalau mahu membela pesawah, jangan hanya kuat berpidato. Kalau mahu mereformasi industri padi, mulakan dengan benih, kerana benih— daripada benih lahirnya padi. Daripada padi lahirnya beras, daripada beras terjaminnya makanan rakyat dan daripada keadilan kepada pesawah lahirnya keyakinan rakyat kepada kerajaan.
Jangan hanya kawal harga, kawal juga kualiti. Jangan hanya naikkan denda, naikkan juga mutu benih padi. Jangan hanya mencari pesalah, carilah punca masalahnya. Sebenarnya petani kita ini rajin, bukannya malas. Dalam keadaan mereka menghadapi harga racun yang tinggi dan juga masalah-masalah lain, harga upah, dulu ambil upah Bangla murah, sekarang dah naik. Mereka tetap mengerjakan padi di sawah.
Dan tahu kah tuan-tuan dan puan-puan? Tahu kah Yang di-Pertua ya, bahawa pesawah kita ini hari-hari pergi ke sawah siang dan malam kerana untuk meracun ulat padi. Yang sesuai ialah pada waktu malam, waktu maghrib dan waktu subuh. Kerana apa? Kerana pada waktu itu cuaca sejuk, jadi ulat keluar daripada batang. Ketika dia keluar beramai-ramai lah datang pesawah dan racun. Maka banyaklah ulat yang mati dan berjaya. Tetapi kalau dia datang tengah hari, ulat akan masuk dalam batang. Jadi, walaupun diracun, dia tak akan mati. Jadi, begitulah perih jeritnya pesawah.
Saya membuat tinjauan pesawah-pesawah untuk membuat kajian dan mengambil beberapa correspondent sebanyak 50 orang. Saya tanya satu persatu.
Kita ambil tiga petani. Saya tanya, “Mengapa kamu, mengapa kamu jadi begini?” [Sambil menyanyi] Dia jawab, “YB, inilah nasibku”. Ha dia jawab macam itu.
*Hari-hari pergi ke sawah, Harap tuaian bertambah mewah, Input naik tak sudah-sudah, Upah Bangla poket dah parah.
[Sambil menyanyi]* Saya tanya pesawah yang kedua, Tuan Yang di-Pertua. “Mengapa kamu, mengapa kamu jadi begitu?” [Sambil menyanyi] Hah, dia jawab lagi. “Inilah nasibku”.
Hari-hari pergi ke sawah, Panas terik tak pernah marah, Benih mahal baja pun susah, Hasil belum bil dah singgah.
[Sambil menyanyi] Saya tanya pula pesawah yang ketiga, Dato’ Menteri. “Mengapa kamu, mengapa kamu jadi begitu?” [Dengan nada nyanyian] Di jawab, “Inilah nasibku”.
*Hari-hari pergi ke sawah, Siang malam tak pernah lelah, Sampai tak sempat nak tengok bola, Tahu-tahu Brazil dah kalah.
[Sambil menyanyi]* Kesian dia. Dia peminat Brazil, tak dapat tengok bola sebab kerja sawah siang dan malam. Saya nak beritahu berkenaan dengan padi import tadi, beras import tadi. Sekarang ini kerajaan dah meluluskan— Kabinet dah meluluskan beras import dicampur dengan beras tempatan. Apa salahnya dalam kampit itu ditulis beras campuran? Sekarang ini dalam kampit ditulis beras import, bukan beras campuran.
Kalau import, tulislah import semua.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Yang Berhormat. Sekejap, sekejap. Sekejap ya. “Yang Berhormat Sabak Bernam, Yang Berhormat Sabak Bernam, masa pun nak habis, tolong gulung, gulung, gulung.” [Dengan nada nyanyian]
[Dewan ketawa]
Tuan Kalam bin Salan - Sabak Bernam
Baik Yang di-Pertua. Saya minta supaya rakyat jangan ditipu, kalau beras dalam kampit itu beras campuran, tulislah beras campuran, jangan ditulis beras import. Kalau begitu, maknanya, serupa rakyat ini serupa apa? Tipah tertipu lagi, kan? Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Terima kasih Yang Berhormat Sabak Bernam. Berikut dipersilakan Yang Berhormat Kota Melaka.
Tuan Khoo Poay Tiong - Kota Melaka
Terima kasih Dato’ Sri Timbalan Speaker, membenarkan Kota Melaka untuk mengambil bahagian dalam perbahasan pindaan Akta Kawalan Padi dan Beras 2026 ini.
Timbalan Speaker, kalau kita lihat tujuan ingin adakan pindaan untuk akta ini adalah untuk memperkukuhkan kawal selia industri, menjamin sekuriti makanan negara serta melindungi kebajikan para pesawah dan pemain industri dalam rantaian padi dan beras. Saya ada empat poin.
Yang pertama, yang saya lihat hari ini antaranya ialah kenaikan denda kepada kesalahan. Antara kesalahan ialah berniaga tanpa lesen bagi runcit dan juga borong.
Di sini saya ingin mencadangkan kepada pihak kementerian. Sudah tiba masanya sepatutnya kita hapuskan penjual beras, terutamanya secara runcit, kedai runcit, untuk mewajibkan mereka memohon license untuk menjual beras. Kalau kita lihat zaman sekarang dengan zaman dahulu, apabila akta ini dibubarkan, saya rasa sudah tiba masanya tidak perlu lagi license untuk menjual beras.
Kerana rata-rata kalau kita lihat ekosistem hari ini, peruncit— mereka mungkin satu bulan hanya jual 20 pek beras sahaja tetapi mereka perlu memohon pelbagai license. Nak dapatkan license untuk menjual beras bukannya senang. Ia banyak protokol, banyak peraturan, susah untuk dapat. Jadi, bagi peruncit yang kecil- kecilan, nak minta mereka untuk mendapatkan, pergi memohon license, itu satu beban yang besar.
Dan kenapa mereka perlu tiap-tiap tahun perlu pergi memperbaharui license mereka? Bukankah boleh berikan mereka lima tahun? Kalau kata license tak boleh dihapuskan, bagilah lima tahun. Kenapa mesti setiap tahun pergi renew license mereka? Dengan izin. Jadi, saya harap supaya kementerian kaji untuk kita hapuskan license untuk menjual beras, secara runcit terutamanya.
Kedua ialah, saya lihat hari ini beras ini mereka tidak boleh menyeberangi negeri yang lain. Ini juga harus dikaji semula. Sebab di Malaysia ini, bukan setiap negeri mereka boleh menghasilkan tanam padi. Jadi, contohnya di Pulau Pinang, mungkin mereka kekurangan penanaman padi, mereka perlu beli daripada negeri yang lain. Jadi, untuk memudahkan proses tersebut, saya rasa peraturan untuk melarang mereka pindah ke negeri yang lain itu perlu dikaji semula.
Perkara yang ketiga yang saya nak sebut seperti yang kita kata, ini adalah untuk kita nak memastikan menjamin sekuriti makanan negara kita.
Tuan Khoo Poay Tiong - Kota Melaka
Jadi, isu yang saya nak bangkit ialah tentang BERNAS. Kita bagi mereka 10 tahun. Waktu— saya masih ingat waktu Tambun, Perdana Menteri kita Yang Amat Berhormat waktu dia berada di sebelah pembangkang, waktu dia adalah Port Dickson, Ketua Pembangkang.
Kita telah kata BERNAS ini perlu dihapuskan, batalkan license monopoly kepada BERNAS. Dan agak malangnya sebab berlakunya Sheraton Move, kita tidak dapat ya sebab waktu itu BERNAS license mereka sehingga 2021. Sebenarnya kita ada peluang untuk kita tamatkan license kepada BERNAS ya, license monopoli kepada BERNAS.
Akan tetapi agak malang sebab berlakunya Sheraton Move, kita tak berjaya dan kita rasa begitu kecewa dengan waktu Pagoh menjadi Perdana Menteri. Pagoh menjadi Perdana Menteri, Beluran menjadi Menteri Pertanian, mereka pula pergi sambung ya, pergi sambung perjanjian dengan BERNAS, benarkan mereka lagi 10 tahun. Bagi mereka 10 tahun lagi memonopoli industri padi ini.
Jadi, hari ini pihak sana kononnya nak memperjuangkan hak pesawah padi.
Apabila mereka waktu Pagoh menjadi Perdana Menteri, sambung lesen untuk 10 tahun monopoli itu, sebenarnya mereka telah tindas. Perbuatan itu ialah menindas pesawah padi. Ya, mereka buat perjanjian dengan BERNAS itu adalah satu perkara yang mengkhianati golongan pesawah padi.
Hari ini mereka tak layaklah nak bangun kononnya nak memperjuangkan, mempertahankan hak pesawah padi. Tetapi tanya kepada parti anda, waktu kamu menjadi Perdana Menteri, Pagoh menjadi Perdana Menteri, kenapa sambung dasar monopoli.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato' Dr. Ramli bin Dato' Mohd Nor
Yang Berhormat baca Peraturan 36(1). Baca Peraturan 38(1), jangan keluar konteks pindaan ini. Duduk Yang Berhormat.
Tuan Khoo Poay Tiong - Kota Melaka
Pada point yang terakhir, Timbalan Speaker.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato' Dr. Ramli bin Dato' Mohd Nor
Duduk Yang Berhormat. Masa dah habis. Yang Berhormat, Yang Berhormat ini adalah pindaan 36(1) dengan izin dan 38(1) is clear. Duduk Yang Berhormat.
Tuan Khoo Poay Tiong - Kota Melaka
Timbalan Speaker, sekarang ialah peringkat dasar. Kita boleh bincang sekarang berkaitan dengan security food. Food security issue. Dasar dia sebab itu saya bangkitkan isu tentang BERNAS.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato' Dr. Ramli bin Dato' Mohd Nor
Yang Berhormat. Yang Berhormat.
Tuan Khoo Poay Tiong - Kota Melaka
Sebab hari ini ialah kita nak kata tentang bekalan padi. Sebab itu saya bangkitkan isu ini. Walau bagaimanapun, saya mematuhi arahan daripada Timbalan Speaker. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato' Dr. Ramli bin Dato' Mohd Nor
Yang Berhormat-Yang Berhormat di dalam Dewan, kalau agak tak clear itu baca lah 36(1) 36(8) dan Yang Berhormat, masa saya bagi lima minit tapi saya biarkan untuk Yang Berhormat berbahas dengan benda yang sepatutnya dengan akta ini ya.
Ini sebagai ingatan ya. Kalau saya longgarkan itu, jangan ambil kesempatan.
Baik, dipersilakan Yang Berhormat Merbok. Tidak ada, dipersilakan Yang Berhormat Sipitang.
Datuk Matbali bin Musah - Sipitang
Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.
*Sawah menguning sampai ke petang, Indahnya kampung di padang luas.
Terima kasih Dato’ Yang di-Pertua memberi ruang, Sipitang membahas RUU padi dan beras.* Syabas dan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan di atas pembentangan Rang Undang-undang Akta Kawalan Padi dan Beras (Pindaan) 2026 ini. Pada hemat Sipitang, inilah masa yang tepat pada waktunya dan sesuai pada musimnya.
Ia umpama hujan turun ketika bumi memerlukan air. Saya katakan demikian kerana ketika dunia dihimpit ketidaktentuan ekonomi ketika kesan peperangan di Asia Barat terus menggoncang rantaian bekalan makanan dunia, ketika harga barang masih menghimpit kehidupan rakyat, Kerajaan MADANI tampil membawa satu ikhtiar yang cukup besar maknanya.
Sebab itu selepas mendengar penjelasan daripada Yang Berhormat Menteri, Sipitang tidak mempunyai sedikit pun keraguan, rang undang-undang ini harus kita sokong sepenuh hati tanpa syarat. Ia wajib didukung sebulat suara oleh seluruh rakan-rakan Ahli Yang Berhormat di Dewan yang mulia ini.
Sipitang yakin pindaan terhadap Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 ini bakal menjadi benteng baharu pada sistem bekalan makanan negara yang memperkukuh pemantauan, yang memperkemaskan penguatkuasaan, yang membanteras manipulasi, yang mematahkan kerakusan kartel, yang lebih penting, ia mengembalikan keyakinan rakyat bahawa kerajaan tidak membiarkan makanan ruji mereka terus diperdagangkan sesuka hati oleh golongan yang tidak bertanggungjawab.
Sehubungan dengan itu, Sipitang amat menyokong cadangan menaikkan penalti mereka yang melanggar undang-undang. Kalau dahulunya dendanya hanya sepuluhan ribu Ringgit, hari ini dinaikkan sehingga ratusan ribu Ringgit. Mengapa?
Kerana keuntungan hasil penyelewengan sudah jauh lebih besar daripada hukuman yang dikenakan. Kalau hukumannya kecil, pelakunya tidak gentar. Kalau hukumannya ringan, penyelewengan akan terus berulang.
Sipitang turut menyokong sepenuhnya pindaan yang memberi kuasa kepada Ketua Pengarah, tertakluk kepada kelulusan Menteri untuk menetapkan harga maksimum dan minimum padi dan beras. Pasaran bebas tidak bermaksud pasaran bebas untuk menindas.
Persaingan sihat tidak bermaksud membiarkan rakyat menjadi mangsa kerakusan segelintir pihak. Saya masih ingat Dato’ Yang di-Pertua, beberapa bulan yang lalu apabila peperangan di Asia Barat mula meletus. Negara kita tiba-tiba digemparkan isu bekalan beras, khususnya di Sabah, rakyat mula resah. Pasar raya mula sesak, rak-rak beras mula kosong.
Dari Kota Kinabalu hingga ke Keningau, dari Tenom ke Beaufort, dari Kuala Penyu hingga ke Sipitang, orang ramai berpusu-pusu, berbaris-baris mencari beras.
Mereka mahu membeli bukan kerana tamak, mereka mahu membeli kerana takut.
Takut, esok tiada lagi beras untuk anak-anak. Takut lusa, tiada lagi nasi untuk keluarga.
Tetapi, apabila kita renung kembali, perang itu baru sahaja bermula. Secara logiknya, bekalan masih ada. Persoalannya, mengapa rakyat masih panik, mengapa rak kosong, mengapa harga berubah? Jawapannya jelas, ada tangan-tangan ghaib yang bermain dengan pasaran. Ada pihak yang mengambil kesempatan di sebalik kesempitan dan keresahan rakyat. Ada yang sanggup mengaut keuntungan ketika rakyat sedang dihimpit kesusahan.
Dato’ Yang di-Pertua, kita tidak boleh selama-lamanya menjadi negara terlalu bergantung pada beras import. Selagi laut tenang, kapal akan sampai, tetapi bila ombak mengganas apabila peperangan meletus, apabila perlabuhan ditutup, ketika itulah kita akan sedar bahawa sawah sendiri jauh lebih bernilai daripada kapal dagang yang datang dari seberang.
Maka, Sipitang menyeru supaya kerajaan mengenal pasti lebih banyak kawasan jelapang padi baharu. Gunakan teknologi moden, gunakan kecerdasan buatan, gunakan dron mekanisasi dan sistem pengairan pintar demi membangunkan industri tanaman padi negara kita.
Dalam konteks Sabah, izinkan Sipitang menyatakan bahawa negeri kami masih mempunyai khazanah tanah yang luas dan berpotensi untuk dibangunkan. Di kawasan Pantai Barat Sabah, dari Papar hingga ke Sipitang sahaja terdapat lebih 4,000 hektar tanah yang dikenal pasti berpotensi untuk membangunkan padi. Jika kawasan ini dibangunkan secara moden dengan mekanisasi sistem pengairan pintar dan teknologi baharu, Sabah mampu menjadi antara penyumbang penting bekalan beras negara.
Sehubungan dengan itu, Sipitang memohon agar Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan Persekutuan berganding bahu dan menjalin kerjasama strategik dengan Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Negeri Sabah dan kita perlu bergerak sederap, bak kata pepatah “berat sama dipikul, ringan sama dijinjing”.
Dato’ Yang di-Pertua, Kerajaan Negeri Sabah telah menubuhkan Lembaga Padi dan Beras Sabah (LPBS). Ia satu langkah yang berpandangan jauh. Justeru, berharap rang undang-undang ini perlu mengiktiraf kedudukan Sabah yang mempunyai cabaran logistik dan juga berbeza daripada Semenanjung. LPBS mesti diberikan bidang kuasa yang lebih besar dalam pemantauan bekalan beras di Sabah supaya setiap gangguan bekalan dapat dikenal pasti lebih awal sebelum menjadi krisis yang membebankan rakyat.
Selain itu, LPBS perlu diberikan peranan yang lebih besar sebagai rakan strategik Kerajaan Persekutuan, khususnya dalam pemantauan bekalan beras, pengumpulan data stok secara masa nyata, penguatkuasaan bersama, perancangan keselamatan makanan negeri serta penyelarasan pengagihan bekalan ketika berlaku krisis. Pendekatan ini bukan mengambil alih kuasa Persekutuan, tetapi bagi memperkukuh kerjasama demi kepentingan rakyat Sabah.
Datuk Matbali bin Musah - Sipitang
Dato' Yang di-Pertua, sebelum akhiri perbahasan, izinkan saya mengangkat tiga persoalan penting kepada Yang Berhormat Menteri.
Pertama, mengapakah subsidi pesawah di Sabah masih dihadkan kepada enam ekar, sedangkan struktur pengusahaan, keluasan tanah dan kos pengeluaran di Sabah jauh berbeza daripada Semenanjung?
Kedua, bolehkah kementerian memberikan jaminan bahawa kuota 25,000 tan metrik beras sebulan untuk Sabah akan dipenuhi secara konsisten tanpa sebarang kekurangan atau kelewatan?
Dan yang ketiga, adakah kerajaan bersedia mewujudkan stok penimbal beras Sabah, serta memberikan peranan lebih besar kepada LPBS dalam pemantauan bekalan, pengurusan stok dan perancangan keselamatan makanan negeri?
Akhirnya, marilah kita semua bersatu menjunjung pindaan perundangan ini, demi hari esok yang lebih baik, selain terus bekerja demi rakyat. Saya meminjam ayat Yang Berhormat Menteri MAFI Negeri Sabah, “berbudi kepada tanah, onsoi”.
Sekian. Sipitang mohon menyokong. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Terima kasih Yang Berhormat. Berikut, dipersilakan Yang Berhormat Kuala Kedah.
Dr. Ahmad Fakhruddin bin Fakhrurazi - Kuala Kedah
Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Terima kasih Dato' Tuan Yang di-Pertua, kerana memberikan laluan kepada Kuala Kedah untuk sama-sama membahaskan Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 (Pindaan) 2026.
Tuan Yang di-Pertua, saya ingin mengambil bahagian membahaskan fasal 2 dan fasal 4, kerana kedua-dua pindaan ini saling berkaitan dan akan memberi kesan besar kepada tadbir urus industri padi dan beras negara.
Fasal 2 meminda perenggan 4(2)(c) dengan menggantikan perkataan menetapkan kepada menguatkuasakan. Manakala, fasal 4 memperluaskan kuasa Menteri untuk membuat peraturan berkaitan pelesenan pembeli padi, penetapan gred beras, kawalan harga beras mengikut gred, serta kawalan terhadap pemindahan padi dan beras.
Saya memahami hasrat kerajaan untuk menyelaraskan kuasa antara Menteri sebagai pembuat dasar, dan ketua pengarah sebagai penguat kuasa. Dari sudut tadbir urus, prinsip ini boleh diterima. Namun, saya ingin menegaskan bahawa, semakin luas kuasa yang diberikan kepada Menteri, semakin tinggi tuntutan terhadap ketelusan dan akauntabiliti.
Tuan Yang di-Pertua, pindaan ini memberikan Menteri kuasa yang sangat besar. Menteri bukan sahaja boleh menentukan gred beras dan mengawal harga, malah boleh menggubal pelbagai peraturan yang akan memberi kesan langsung kepada pesawah, pembeli padi, pengilang, pemborong dan pengguna.
Persoalannya, apakah mekanisme semak dan imbang yang akan memastikan kuasa ini dilaksanakan secara adil berasaskan bukti?
Saya tidak melihat dalam pindaan ini, sebarang kewajipan untuk Menteri mendapatkan pandangan pesawah, pengilang, MADA, KADA, kerajaan negeri jelapang padi ataupun pakar ekonomi pertanian, sebelum membuat sesuatu peraturan atau keputusan mengenai harga dibuat. Sedangkan, merekalah pihak yang akan menerima kesan secara langsung daripada setiap keputusan tersebut.
Tuan Yang di-Pertua, saya ingin menyentuh soal harga lantai padi. Kerajaan telah menaikkan harga lantai padi kepada RM1,500 satu tan metrik. Langkah ini wajar dihargai. Namun, persoalan yang terus dibangkitkan oleh pesawah ialah apakah formula sebenar yang digunakan untuk menentukan harga tersebut? Adakah kerajaan mengambil kira peningkatan kos benih, baja, racun, diesel, upah pekerja, sewaan jentera dan kos pengairan?
Adakah harga itu disemak secara berkala berdasarkan perubahan kos sebenar? Atau adakah ia hanya ditentukan melalui pertimbangan pentadbiran? Saya berpandangan bahawa formula penetapan harga lantai hendaklah diterbitkan secara telus, supaya pesawah memahami asas kepada setiap keputusan kerajaan.
Dato' Tuan Yang di-Pertua, pindaan ini juga memberi kuasa kepada Menteri menetapkan gred beras. Saya menyokong usaha menyeragamkan penggredan, kerana ia penting bagi menjamin kualiti dan melindungi pengguna. Namun, saya ingin bertanya, apakah standard yang akan digunakan? Adakah berdasarkan kandungan beras, kepala, kadar beras hancur, kelembapan atau standard antarabangsa? Lebih penting lagi, adakah sistem penggredan ini disokong oleh mekanisme kebolehkesanan ataupun traceability, dengan izin?
Kita tidak mahu isu yang pernah menjadi perhatian umum seperti dakwaan pencampuran beras tempatan dengan beras import, terus menjejaskan keyakinan rakyat terhadap sistem kawalan beras negara. Sekiranya setiap gred boleh dikesan dari sawah ke kilang, ke pemborong sehingga ke pengguna, saya percaya ketulusan pasaran akan meningkat dan manipulasi dapat dikurangkan.
Tuan Yang di-Pertua, saya juga ingin menyentuh kuasa Menteri untuk membuat peraturan mengenai pelesenan pembeli padi. Pembeli padi ialah penghubung utama antara pesawah dan industri. Saya berharap, syarat pelesenan yang bakal diperkenalkan, tidak menjadi terlalu ketat sehingga mengehadkan persaingan dan akhirnya menyebabkan pesawah hanya bergantung kepada segelintir pembeli sahaja. Kerajaan perlu memastikan sistem pelesenan ini meningkatkan kecekapan pasaran, bukannya mewujudkan penguasaan pasaran oleh beberapa pihak yang tertentu.
Dato' Tuan Yang di-Pertua, satu lagi perkara yang saya ingin bangkitkan ialah kebanyakan perkara penting dalam pindaan ini akan ditentukan melalui peraturan- peraturan yang dibuat oleh Menteri pada masa hadapan. Ini bermakna, Parlimen hari ini meluluskan kuasa tetapi butiran pelaksanaannya hanya akan diketahui kemudian.
Oleh itu, saya mencadangkan supaya setiap peraturan yang dibuat di bawah seksyen 29, diwajibkan melalui proses libat urus bersama semua pihak berkepentingan dan seterusnya dibentangkan kepada Parlimen. Dengan cara ini, Ahli-ahli Yang Berhormat dapat menilai sama ada peraturan tersebut benar-benar melindungi kepentingan pesawah, pengilang dan pengguna. Hal ini lebih signifikan apabila timbul dakwaan bahawa beras putih tempatan di campur atau dibungkus semula, repackaging dan dijual sebagai beras import.
Dato' Tuan Yang di-Pertua, saya ingin mengemukakan empat cadangan dalam tempoh yang singkat ini:
(i) kerajaan perlu mewujudkan formula penetapan harga lantai padi yang telus, mengambil kira kos pengeluaran sebenar, produktiviti, inflasi dan sasaran tahap sara diri beras negara;
(ii) mewujudkan jawatankuasa penetapan harga dan penggredan beras negara yang melibatkan wakil pesawah, pengilang, MADA, kerajaan negeri, pengguna dan pakar ekonomi pertanian;
(iii) membangunkan sistem kebolehkesanan digital, bagi memastikan setiap gred beras dapat dijejaki dari sawah hingga ke pengguna, sekali gus mengukuhkan integriti rantaian bekalan; dan
(iv) mewajibkan Menteri membentangkan laporan tahunan kepada Parlimen mengenai penetapan harga, penggredan beras, impaknya terhadap pendapatan pesawah, harga pengguna dan tahap keterjaminan bekalan beras negara.
Tuan Yang di-Pertua, yang terakhir. Jika akta ini memberi Menteri kuasa menetapkan gred, mengawal harga, melesenkan pembeli, mengawal pemindahan dan mengubal pelbagai peraturan, maka siapakah yang akan mengawal?
Bagaimana kuasa itu digunakan? Pada hemat saya, jawapannya mestilah Parlimen.
Melalui mekanisme ketulusan, konsultasi dan pelaporan yang jelas. Itulah semangat akauntabiliti yang sewajarnya mengiringi setiap kuasa yang diberikan oleh Dewan yang mulia ini. Sekian, perbahasan saya. Terima kasih Dato' Tuan Yang di-Pertua.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Terima kasih Yang Berhormat. Berikut dipersilakan Yang Berhormat Tenom.
Tuan Riduan bin Rubin - Tenom
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Assalamualaikum. Salam sejahtera.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Waalaikumussalam.
Tuan Riduan bin Rubin - Tenom
Kan saya nak kemayuan. Selamat petang. Terlebih dahulu, Tenom ingin merakamkan ucapan terima kasih atas peluang yang diberikan untuk mengambil bahagian dalam perbahasan Rang Undang-undang Kawalan Padi dan Beras (Pindaan) 2026.
Tuan Yang di-Pertua, melalui fasal 2 pindaan kepada seksyen 4(2)(c), menggantikan perkataan menetapkan kepada menguatkuasakan harga maksimum atau minimum yang telah diluluskan oleh Menteri. Saya melihat pindaan ini memberi kuasa yang lebih jelas kepada ketua pengarah untuk menguatkuasakan harga setelah mendapat kelulusan Menteri.
Saya melihat langkah ini mampu memperkukuhkan tindakan terhadap manipulasi harga dan pencatutan. Walau bagaimanapun, Tenom mencadangkan supaya kerajaan turut menyediakan garis panduan pelaksanaan yang jelas serta mekanisme semakan atau rayuan bagi memastikan kuasa ini dilaksanakan secara telus, adil dan konsisten.
Tuan Yang di-Pertua, berkenaan fasal 3 pindaan kepada seksyen 22(1) dan seksyen 22(2), Tenom menyokong peningkatan penalti ini kerana hukuman sedia ada, tidak lagi setimpal dengan keuntungan yang boleh diperolehi melalui aktiviti seperti penyorokan bekalan, manipulasi pasaran dan penyalahgunaan lesen.
Namun, pada hemat Tenom, kekuatan sesuatu undang-undang bukan hanya terletak pada beratnya hukuman, ia juga bergantung kepada keupayaan kerajaan mencegah kesalahan sebelum ia berlaku.
Tuan Riduan bin Rubin - Tenom
Justeru, Tenom mencadangkan supaya pelaksanaan RUU ini disokong dengan sistem digital rantaian bekalan melalui mekanisme traceability, penggunaan lesen digital ePermit serta pemantauan stok secara masa nyata. Integrasi data antara kementerian dan agensi penguat kuasa juga penting bagi mengesan ketirisan dengan lebih cepat. Di samping itu, kerajaan wajar mempertimbangkan pendekatan yang membezakan antara kesalahan penipuan dan manipulasi yang serius dengan kesalahan pentadbiran yang dilakukan oleh pemain industri kecil agar pelaksanaan undang-undang ini lebih adil.
Tuan Yang di-Pertua, saya turut menyambut baik pindaan kepada seksyen 29(1)(c) yang membolehkan Menteri membuat peraturan berkaitan pelesenan pembeli padi. Pembeli padi merupakan penghubung utama antara pesawah dengan industri pengilangan. Oleh itu, sistem pelesenan yang lebih tersusun mampu mengurangkan ketirisan serta memperkukuhkan rantaian bekalan negara. Namun, syarat pelesenan hendaklah jelas, telus dan tidak membebankan pemain industri yang mematuhi undang-undang.
Tuan Yang di-Pertua, melalui seksyen 29(1), Menteri diberi kuasa membuat peraturan berkaitan penetapan gred beras dan kawalan harga mengikut gred.
Manakala, seksyen 29(1)(db) perlu memberi kuasa mengawal pembelian padi dan beras bagi menjamin bekalan negara. Tenom menyokong pindaan ini kerana ia mampu meningkatkan ketelusan pasaran, melindungi pengguna dan mengukuhkan keterjaminan bekalan makanan negara.
Namun, kaedah penentuan gred hendaklah dilaksanakan secara telus dan berdasarkan piawaian yang jelas. Kerajaan juga perlu memastikan terdapat sistem pemantauan stok yang berkesan supaya tindakan awal dapat diambil sekiranya berlaku gangguan bekalan.
Sebagai Ahli Parlimen dari Sabah, saya ingin menarik perhatian kerajaan supaya pelaksanaan peraturan di bawah seksyen 29(1)(da) dan 29(1)(db) mengambil kira realiti di Sabah dan Sarawak. Struktur industri padi di kedua-dua wilayah ini berbeza daripada Semenanjung, kos logistik dan pengangkutan adalah lebih tinggi, kawasan penanaman lebih berselerak dan sebahagian bekalan beras masih bergantung pada penghantaran melalui laut. Oleh itu, pelaksanaan peraturan berkaitan gred beras, kawalan harga dan kawalan pembenihan padi atau beras tidak seharusnya menggunakan pendekatan yang seragam, sebaliknya ia perlu mengambil kira keperluan serta cabaran khusus Sabah dan Sarawak agar matlamat keterjaminan makanan dapat dicapai secara lebih adil dan berkesan.
Tuan Yang di-Pertua, Tenom juga menyambut baik fasal 5 yang memastikan siasatan atau prosiding yang telah dimulakan sebelum akta ini berkuat kuasa dapat diteruskan di bawah peruntukan sedia ada. Ini memberikan kepastian undang- undang dan mengelakkan sebarang kekeliruan dalam pelaksanaan.
Tuan Yang di-Pertua, besarlah harapan Tenom agar pandangan yang telah diberikan mendapat perhatian serius daripada pihak kementerian. Mengakhiri ucapan, Tenom mohon menyokong. Sekian, terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Terima kasih Yang Berhormat Tenom. Selanjut dipersilakan Yang Berhormat Parit Buntar.
Tuan Haji Mohd Misbahul Munir bin Masduki - Parit Buntar
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam sejahtera.
Bismillahirrahmanirrahim. Tuan Yang di-Pertua, firman Allah SWT di dalam al-Quran, [Membaca sepotong ayat al-Quran] Maksudnya, “Dan dialah yang menurunkan hujan dari langit, lalu kami tumbuhkan dengan air hujan itu segala jenis tumbuh- tumbuhan, kemudian kami keluarkan daripadanya tanaman yang menghijau.” Al- An’am ayat 99.
Ayat ini menjelaskan bahawa nikmat yang tertinggi yang Allah kurniakan pada hambanya ialah menumbuhkan bermacam-macam tumbuhan yang boleh memberi manfaat kepada seluruh hamba-hamba Allah SWT. Namun, sekiranya ia tidak diurus dengan baik, maka ia akan memberi kerugian kepada pengusaha ataupun kepada rakyat itu sendiri.
Kerana itu saya mengambil bahagian dalam perbahasan Rang Undang- undang Kawalan Padi dan Beras (Pindaan) 2026. Pada prinsipnya, saya bersetuju bahawa negara memerlukan undang-undang yang lebih tegas bagi membanteras penyelewengan dalam industri dan beras. Namun, persoalan yang lebih besar ialah adakah masalah sebenar berpunca daripada kelemahan undang-undang ataupun kelemahan kerajaan menguatkuasakan undang-undang yang sedia ada.
Rakyat masih belum lupa isu kehilangan beras tempatan di pasaran, kenaikan harga beras import, dakwaan percampuran beras tempatan dan import serta pelbagai laporan ketirisan dalam rantaian bekalan. Semua ini berlaku ketika Akta Kawalan Padi dan Beras masih berkuat kuasa.
Saya ingin bertanya Menteri, apakah jaminan bahawa pindaan ini benar- benar akan menyelesaikan masalah dan bukannya sekadar menambah hukuman ke atas kertas. Penguatkuasaan mestilah menyasarkan dalang sebenar. Jangan sampai pesawah kecil, peruncit kampung atau pengilang padi menjadi mangsa sedangkan pemain industri yang menguasai pasaran terus terlepas.
Rakyat mahu melihat tindakan terhadap sindiket yang menyorok bekalan, manipulasi harga, menyeludup beras dan mencampurkan beras bagi mengaut keuntungan luar biasa. Jika hanya golongan bawahan yang dikenakan tindakan, sedangkan pihak yang mempunyai pengaruh terus bebas, maka keyakinan rakyat terhadap kerajaan akan terus merosot.
Apabila kita bercakap mengenai kawalan padi dan beras, jangan sekali-sekali kita lupa bahawa nadi industri ini ialah pesawah. Hakikatnya, hari ini pesawah berhadapan dengan pelbagai tekanan akibat kos baja meningkat, kos racun meningkat, kos upah jentera meningkat, kos [Tidak jelas] meningkat, kos minyak dan pengangkutan meningkat.
Namun, pendapatan pesawah masih tidak banyak berubah. Sebab itu saya ingin menegaskan bahawa undang-undang yang keras tidak akan berjaya jika pesawah terus hidup dalam keadaan terhimpit. Kerajaan mesti melihat keseluruhan ekosistem, bukan hanya aspek penguatkuasaan.
Tuan Yang di-Pertua, pesawah bukan meminta menjadi kaya. Dengan keluasan lebih kurang lima hektar setelah mengeluarkan kos sekitar hampir RM30,000 satu musim, jika hasil baik sekalipun, mereka hanya memperoleh kira-kira RM5,500 bersih semusim bersamaan kira-kira RM1,300 hingga RM1,400 sebulan.
Tetapi apabila hasil merosot, sedikit sahaja akibat masalah air atau cuaca, mereka terus mengalami kerugian. Ini menjelaskan mengapa ramai pesawah hari ini semakin tertekan walaupun mereka merupakan golongan yang menjamin sekuriti makanan.
Tuan Yang di-Pertua, kita sering bercakap mengenai sekuriti makanan negara, tetapi sekuriti makanan tidak akan dapat dipertahankan sekiranya pesawah meninggalkan sawah kerana tidak lagi berbaloi untuk menanam padi. Tiada jaminan bekalan beras tanpa jaminan kebajikan pesawah.
Tuan Yang di-Pertua, negara boleh mengimport beras, tetapi negara tidak boleh mengimport pesawah. Jika pesawah terus meninggalkan sawah kerana pendapatan yang tidak lagi berbaloi, akhirnya kita bukan sahaja kehilangan pengeluar makanan, malah kehilangan keupayaan negara untuk menjamin bekalan makanan sendiri. Sebab itulah rang undang-undang ini mestilah bukan sekadar mengawal padi dan beras, tetapi mengangkat martabat pesawah sebagai aset strategik negara.
Saya ingin mencadangkan beberapa perkara. Pertama, harga lantai padi hendaklah ditentukan berdasarkan formula yang jelas, mengambil kira kos pengeluaran sebenar serta margin keuntungan yang munasabah. Bukannya ditetapkan secara pentadbiran semata-mata.
Yang keduanya, diwujudkan mekanisme semakan automatik harga lantai apabila berlaku peningkatan kos baja, racun, diesel, ubat jentera dan kos import yang lain.
Yang ketiga, setiap kali kerajaan memperkenalkan kuasa baharu kepada pengilang, pemborong atau pihak berkuasa di bawah akta ini, perlindungan yang setara hendaklah diberikan kepada pesawah sama ada kita nak terus menjadi pihak yang paling lemah dalam rantaian bekalan.
Yang keempat, kerajaan perlu memastikan ketelusan dalam penggredan padi serta potongan kadar basah. Ramai pesawah merasakan potongan yang dikenakan tidak seragam dan sukar disemak.
Kesimpulannya, RUU ini mengawal industri, tetapi tidak menjamin kebajikan pesawah. RUU ini memperkukuhkan kuasa kerajaan mengawal industri, tetapi di manakah peruntukan yang menjamin pendapatan minimum pesawah? Harga lantai masih bergantung pada keputusan kerajaan. Mengapa kerajaan tidak mengusulkan mekanisme semak dan automatik harga lantai berdasarkan kenaikan kos pengeluaran. Kos naik setiap tahun, tapi pendapatan pesawah tidak mempunyai [Tidak jelas] yang sama.
Yang ketiga, tiada dividen kos pengeluaran. Tanpa [Tidak jelas] ini, kerajaan boleh menetapkan harga tanpa mengambil kira kos sebenar. Cadangan, masukkan [Tidak jelas] dengan mengambil kira kos pengeluaran sebenar sebelum penetapan harga lantai.
Yang keempat, pengilang mempunyai margin lebih stabil berbanding pesawah sedangkan pesawah menanggung risiko, banjir, kemarau, penyakit, kenaikan kos, kegagalan hasil dan sebagainya.
Yang kelima, pesawah menanggung— yang kelima, tiada perlindungan terhadap manipulasi gred padi. Ramai pesawah mengadu mengenai kadar basah, bendasing, gred, potongan, berat dan sebagainya.
Dan yang ketujuh, sekuriti makanan bermula daripada pesawah, bukan hanya stok beras. Kerajaan sering bercakap tentang stok beras, tetapi jika pesawah berhenti menanam padi, rugi stok negara dan akhirnya akan bergantung pada import.
Sebaliknya, gunakanlah akta ini untuk membersihkan keseluruhan rantaian industri padi daripada kartel, penyelewengan dan ketirisan.
DR090720261550-NORIS
Tuan Haji Mohd Misbahul Munir bin Masduki - Parit Buntar
Jika kerajaan benar-benar ikhlas mahu mempertahankan pesawah, menjaga pengguna dan menjamin bekalan beras negara, maka penguatkuasaan mestilah menyeluruh, telus dan tanpa pilih kasih. Dengan semangat tersebut, saya bersedia menyokong rang undang-undang ini dengan syarat kerajaan benar-benar melaksanakan pembaharuan yang menyeluruh bukan sekadar meminda peruntukan undang-undang. Akhirnya, terima serangkap pantun.
*Kalau padi katakan padi; Tidak kami tertampi-tampi; Kalau dah janji wahai Menteri wajib ditepati; Kelak nanti dimakan dek api.
Kalau padi katakan padi; Harga lantai padi kenalah kaji; 11 Julai rakyat Johor akan mengundi; Selamat mengundi dan tanamkan PN di hati pengundi.* Sekian, terima kasih.
[Tepuk]
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Terima kasih Yang Berhormat. Berikut dipersilakan Yang Berhormat Kota Belud.
Puan Isnaraissah Munirah binti Majilis @ Fakharudy - Kota Belud
Bismillahirrahmanirrahim. Tuan Yang di-Pertua, sebelum saya memulakan, saya ingin respons sedikit jawapan daripada pihak kementerian sewaktu taklimat kelmarin mengenai bidang kuasa Persekutuan dan negeri.
Ya, kami di Sabah tidak nafikan bahawa kawalan makanan adalah di bawah Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan adalah terletak di bawah Senarai Persekutuan. Tetapi apa yang tidak disebutkan adalah pertanian dan tanah adalah hak mutlak negeri di bawah Senarai Negeri, Senarai 2. Tambahan pula, Perkara 95B Perlembagaan Persekutuan dengan jelas memperuntukkan peluasan kuasa perundangan bagi Sabah dan Sarawak untuk mempertahankan hak autonomi institusi tempatan mereka.
Oleh itu, industri padi dan beras berada dalam grey area, di mana Persekutuan memegang mandat ke atas kawalan harga dan perdagangan makro.
Manakala, kerajaan negeri memegang kuasa mutlak ke atas tanah, sawah, kebajikan pesawah dan pengeluaran domestik.
Justeru, untuk kita bergerak ke hadapan, saya berpandangan selain daripada bekerjasama erat antara Persekutuan dan negeri, kita perlu saling menghormati bidang kuasa masing-masing dan saling melengkapi antara satu sama lain dan menyokong penuh usaha Sabah dan Sarawak dalam mengawal rantaian bekalan domestik demi kesejahteraan rakyat masing-masing.
Tuan Yang di-Pertua, pada tahun 1994, Sabah menyerahkan fungsi Lembaga Padi Sabah (LPS) kepada Persekutuan demi penyelarasan nasional dan penswastaan BERNAS. Namun apa hasilnya? Sepanjang lebih 30 tahun pengurusan berpusat, industri padi Sabah tidak menunjukkan peningkatan yang ketara, malah kadar sara diri (SSL) beras Sabah merosot ke paras sekitar 22 peratus sehingga 25 peratus sahaja. Disebabkan itulah, Kerajaan Sabah mengambil langkah untuk menghidupkan semula Lembaga Padi dan Beras Sabah yang kita panggil LPBS untuk menyelamatkan sekuriti makanan Sabah.
Soalan saya, bagaimana pelaksanaan peraturan baru di bawah fasal 4 mengenai gred, kawalan harga dan kawalan pemindahan beras ini akan diselaraskan dengan fungsi autonomi LPBS? Siapa yang mempunyai kata putus di lapangan nanti? Jangan nanti sampai undang-undang Persekutuan ini digunakan untuk merumitkan usaha LPBS yang sedang bertungkus-lumus untuk menaikkan semula SSL Sabah mengikut acuan wilayah kami sendiri.
Bagi mengelakkan pertembungan, saya mencadangkan tiga perkara.
Pertama, demarcation of power yang jelas. Biarlah Persekutuan fokus kepada fungsi makro seperti penetapan siling harga. Manakala, fungsi mikro dengan pengurusan operasi di lapangan seperti pelesenan pembeli padi setempat dan kelulusan permit pemindahan domestik diserahkan sepenuhnya kepada acuan tempatan melalui Lembaga Padi dan Beras Sabah.
Kedua, saya mencadangkan agar kementerian melakukan delegation of power secara rasmi. Wartakan pegawai-pegawai Lembaga Padi dan Beras Sabah sebagai penguat kuasa sah di bawah Akta 522 ini. Biar LPBS menjadi mata dan telinga Persekutuan di lapangan. Dengan cara ini, isu kekangan bajet Persekutuan selesai dan kedaulatan institusi di Sabah juga dihormati.
Ketiga, saya mencadangkan penubuhan penyelarasan bersama wilayah antara KPKM dan juga LPBS. Sebarang formula kawalan harga beras bergred atau sekatan pemindahan padi di bawah seksyen 29 yang mahu digubal, wajib dibentangkan dan dirundingkan dalam jawatankuasa ini terlebih dahulu bagi memastikan kos input di Sabah tidak terjejas.
Cadangan-cadangan ini bukan sekadar soal autonomi tetapi apa yang lebih penting adalah untuk memastikan sekuriti makanan rakyat kami di Sabah sentiasa dipelihara dan diperkasakan. Saya percaya sinergi kerjasama antara Pusat dan negeri ini akan mampu menjadi benteng sekuriti makanan yang mandiri, bukan sahaja untuk Sabah tetapi untuk negara secara keseluruhan.
Tuan Yang di-Pertua, saya menyokong penuh usaha kerajaan bagi menangani taktik licik pekilang yang mencampurkan beras tempatan dan import.
Namun, kami di Sabah kalau perkara ini sememangnya berlaku ia nya memberikan kesan berganda, mengapa? Sebab Sabah bergantung 75 peratus kepada beras import dan sebahagian kecil sahaja beras tempatan yang dikeluarkan termasuk dari Kota Belud.
Apabila ada pekilang manipulasi dengan membeli padi dari pesawah dengan memotong berat timbangan sesuka hati sampai contohlah 20 peratus, 30 peratus, tapi kemudiannya padi yang murah itu dikilang dan dicampurkan dengan beras import untuk dijual pada harga komersial yang tinggi, mereka yang akan untung berganda-ganda dan pesawah pula terus miskin.
Di samping saya menyokong pindaan ini, saya ingin mohon penjelasan kementerian sejauh manakah penguatkuasaan gred baru ini mampu menyekat rantaian manipulasi pencampuran beras ini di Sabah?
Tuan Yang di-Pertua, saya ambil maklum mengenai pengenalan seksyen 29(2) mengenai penalti khusus impak minima, maksimum RM15,000 bagi kesalahan pentadbiran seperti invois tidak lengkap atau gagal pamer tanda harga. Tapi bagi usahawan kecil tidak sepatutnya didenda RM500,000 untuk kesilapan teknikal yang kecil. Saya mahukan penjelasan di bawah seksyen 22, penalti am impak tinggi, kesalahan meminda padi beras tanpa permit diletakkan sebagai kesalahan serius yang membawa denda maksimum RM250,000 individu, RM500,000 pertubuhan perbadanan.
Di Sabah, rantaian logistik dari sawah ke kilang kebanyakannya diurus secara gotong-royong oleh pesawah, lori kecil kampung atau koperasi pertubuhan peladang kawasan. Sekiranya berlaku kelewatan kelulusan permit ataupun kekangan sistem maklumat di luar bandar, jadi adalah pemindahan padi domestik dari sawah ke kilang setempat itu akan dikenakan denda setengah juta Ringgit? Saya menuntut jaminan agar takrifan pemindahan tanpa permit diperjelaskan supaya ia nya disasarkan untuk kes penyeludupan rentas sempadan atau negeri, bukannya logistik petani-petani luar bandar.
Tuan Yang di-Pertua, jika syarat pelesenan baru ini terlalu ketat, ia berisiko mengurangkan bilangan pembeli kompetitif di lapangan. Kesannya pesawah terperangkap dalam monopoli buatan oleh segelintir pengilang besar yang memegang lesen. Saya mohon penjelasan, apakah strategi kementerian untuk memastikan proses pelesenan pembeli padi ini bersifat inklusif, memelihara persaingan sihat dan tidak menekan ekosistem pasaran sedia ada di peringkat akar umbi.
Tuan Yang di-Pertua, kos operasi pesawah di Sabah daripada kos baja, upah jentera sehinggalah kos racun jauh lebih berbanding Semenanjung akibat faktor logistik. Disebabkan itulah kawalan harga beras bergred dan harga lantai padi ini tidak boleh ditetapkan secara one size fits all seluruh negara. Saya mohon penjelasan, adakah peraturan di bawah pindaan ini akan mewujudkan struktur harga wilayah yang fleksibel demi melindungi margin keuntungan pesawah padi Sabah?
Tuan Yang di-Pertua, mengenai penguatkuasaan. Saya lihat penumpuan kes semasa, kebanyakannya di Kelantan dan di Kedah. Manakala di Sabah, hanya merekodkan kes kecil iaitu di Sandakan. Persoalannya, adakah kes di Sabah rendah kerana tiada pelanggaran atau kerana kekangan pegawai penguat kuasa kawal selia padi (KPB) Persekutuan di lapangan?
RUU ini menyatakan ia tidak melibatkan perbelanjaan kewangan tambahan kerajaan. Dengan denda yang melonjak sehingga RM1 juta ini, bagaimana fungsinya dapat berjalan berkesan di wilayah Sabah yang luas tanpa penambahan aset.
Adakah pegawai-pegawai daripada Lembaga Padi dan Beras Sabah nanti akan diberikan perwakilan kuasa secara sah di bawah akta Persekutuan ini untuk membantu operasi penguatkuasaan.
Tuan Yang di-Pertua, sebagai penutup suka saya tegaskan sekali lagi bahawa kami di Sabah tidak pernah menolak usaha murni untuk memperkukuh keterjaminan makanan negara. Kita mahu kartel ditumpaskan, kita mahu penyelewengan gred beras dihentikan dan kita mahu pesawah kita dilindungi.
Namun, sokongan saya adalah yang menuntut tanggungjawab dan keadilan geografi. Saya mendesak Yang Berhormat Menteri untuk memberikan komitmen di atas penjelasan dan cadangan yang telah saya utarakan. Sekian, terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Terima kasih Yang Berhormat. Berikut dipersilakan Yang Berhormat Baling.
Tuan Hassan bin Saad - Baling
Bismillahirrahmanirrahim, Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Tuan Hassan bin Saad - Baling
Terima kasih kerana memberi ruang kepada saya untuk mengambil bahagian dalam perbahasan Rang Undang-undang Kawalan Padi dan Beras (Pindaan) 2026.
[Timbalan Yang di-Pertua (Puan Alice Lau Kiong Yieng) **mempengerusikan Mesyuarat****] Secara prinsipnya, saya bersetuju dengan langkah untuk meminda Akta 522 ini. RUU ini tepat pada masanya, memandangkan akta asal tahun 1994 sudah perlu dikemaskinikan bagi memperkukuhkan kawal selia industri serta menjamin sekuriti makanan negara. Saya ingin membawa dua perkara utama untuk perhatian dan pencerahan pihak kementerian. Kita mahu akta ini berjaya dan pada masa yang sama, nasib rakyat dan pengusaha kecil di peringkat akar umbi tetap terbela.
Perkara pertama ialah berkenaan dengan seksyen 22 iaitu berkaitan dengan penalti am. Kita lihat kadar denda untuk individu dinaikkan dengan jumlah yang besar daripada RM15,000 kepada RM250,000 bagi kesalahan pertama. Untuk pertubuhan perbadanan atau syarikat pula, denda dinaikkan kepada RM500,000 atau boleh mencecah sehingga RM1 juta untuk kesalahan berulang.
Penalti am yang tinggi ini disasarkan kepada kesalahan berimpak tinggi seperti penyeludupan. Memandangkan data kementerian sendiri menunjukkan kes memiliki beras dari sumber yang tidak sah adalah perkara paling tinggi dalam catatan 102— 1,246 kes bagi kategori bukan pelesen. Ini satu tindakan yang wajar.
Namun persoalan saya kepada pihak kementerian, bagaimanakah prosedur penguatkuasaan ini akan dilaksanakan? Adakah pihak kementerian mempunyai garis panduan yang jelas untuk membezakan siapa dalang utama, siapa pekerja biasa?
Saya risau jika denda ratusan ribu ini kelak terkena kepada pemandu lori upahan atau pekerja bawahan yang mungkin hanya bertindak mengikut arahan majikan syarikat besar. Kita mendorong— kita menyokong hukuman berat ini untuk menjerat pihak besar yang memanipulasikan sasaran. Namun, perlindungan harus ada supaya pekerja di bawah tidak menjadi mangsa keadaan secara tidak adil.
Perkara yang kedua adalah berkenaan dengan pindaan seksyen 29. Melalui pindaan ini, Menteri kini diberi kuasa untuk menggubal peraturan baharu berkaitan dengan pelesenan ke atas pihak pembeli padi. Langkah ini dilihat baik bagi memantau kelancaran dan pergerakan hasil padi. Tapi persoalan yang ingin ditimbulkan, apakah syarat-syarat untuk pihak pemohon lesen kelak?
Saya berharap, syaratnya dimudahkan terutama untuk pemain industri yang membeli beras berskala kecil di kawasan kampung. Jika syarat lesen ini terlalu ketat, membebankan atau memerlukan tahap kewangan yang besar, pembeli padi berskala kecil mungkin terpaksa menutup perniagaan mereka. Apabila berlaku, pesawah kini hanya akan mempunyai satu pilihan sahaja iaitu menjual hasil tanaman mereka kepada beberapa syarikat besar.
Perkara ini boleh menyebabkan wujudnya masalah monopoli baharu di peringkat belian padi. Jika— jadi, bolehkah pihak kementerian memberi jaminan bahawa syarat pelesenan baharu ini dikekalkan mesra kepada pembeli berskala kecil supaya pasaran kekal sihat?
Seterusnya, di bawah seksyen 90— 29(2) juga, terdapat peruntukan penalti khusus baharu bagi kesalahan pentadbiran atau berimpak minima seperti gagal mempamerkan lesen dan gagal menyenggarakan akaun harian dengan penalti denda maksima RM15,000 atau penjara sehingga enam bulan. Memandangkan kesalahan ini bersifat pentadbiran, adakah kementerian akan memberi amaran awal atau mengadakan tempoh didikan terlebih dahulu kepada peruncit kecil sebelum denda atau hukuman penjara ini diteruskan?
Kesimpulannya Tuan Yang di-Pertua, saya mengambil pendekatan membina dan menyokong pindaan ini demi kebaikan industri padi negara. Saya cuma berharap pelaksanaan undang-undang ini diteliti sebaiknya dalam bentuk amalan supaya matlamat kerajaan untuk membanteraskan ketirisan tercapai. Dan pada waktu yang sama, kelangsungan hidup pesawah, pekerja dan peruncit kecil terus terbela.
Sekian, terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Terima kasih Yang Berhormat Baling. Saya jemput Yang Berhormat Jempol.
Dato’ Haji Shamshulkahar bin Mohd Deli - Jempol
Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam sejahtera dan selamat petang. Terima kasih Puan Yang di-Pertua mengizinkan Jempol mengambil bahagian dalam perbahasan ini. Jempol menyokong usaha kementerian memperkukuh Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 [Akta 522] kerana beras bukan sekadar komoditi tetapi makanan ruji dalam kepentingan strategik negara.
Menurut Laporan Industri Padi dan Beras 2024, kadar sara diri beras negara pada 2023 hanya 56.2 peratus dengan pengeluaran sekitar 1.44 juta tan metrik beras. Ini menunjukkan keupayaan pengeluaran domestik masih belum mencukupi untuk memenuhi keperluan negara.
Jempol ingin menyentuh tiga perkara dalam perbahasan ini. Perkara pertama, ketirisan dan manipulasi beras putih tempatan. Harga siling beras putih tempatan kekal RM2.60 sekilogram, sedangkan beras putih import dijual pada harga lebih tinggi. Isunya, apabila beras tempatan yang murah boleh di campur atau dijual semula sebagai beras yang lebih mahal, wujud ruang untuk pihak tidak bertanggungjawab yang mengaut keuntungan daripada perbezaan harga tersebut.
Justeru, Jempol menyambut baik kuasa menetapkan gred dan mengawal harga beras. Namun, mustahil untuk penguat kuasa memeriksa setiap kampit satu persatu. Kerajaan perlu melaksanakan rekod stok mengikut gred sistem jejak digital dari kilang hingga peruncit serta pemeriksaan sampel berasaskan risiko. Dengan itu, jumlah beras masuk diproses dan dijual, dapat dipadankan bagi mengesan pencampuran atau penyelewengan stok.
Persoalan Jempol, apakah mekanisme terbaik untuk kerajaan menjejak aliran beras putih tempatan di seluruh rantaian bekalan agar beras tempatan benar-benar sampai kepada rakyat dan tidak terus hilang di tengah pasaran?
Puan Yang di-Pertua, perkara yang kedua ialah kelangsungan pesawah dan pengeluaran domestik. Kerajaan telah menaikkan harga lantai belian padi daripada RM1,300 kepada RM1,500 satu tan metrik. Peningkatan sekitar 15.4 peratus sedangkan harga siling beras putih tempatan kekal RM2.60 sekilogram. Langkah ini perlu diimbangi dengan teliti supaya kos dalam rantaian bekalan tidak akhirnya menjejaskan pesawah atau bekalan kepada pengguna.
Menurut Laporan Suruhanjaya Persaingan Malaysia, negara mempunyai sekitar 230,119 orang pesawah padi di seluruh negara dengan keluasan penanaman padi 614,061 hektar dengan kadar sara diri beras hanya 56.2 peratus. Kelangsungan pesawah berkait langsung dengan keterjaminan makanan negara.
Persoalan Jempol, bagaimanakah pindaan ini akan diterjemahkan kepada peningkatan pendapatan bersih pesawah dan memastikan mereka menerima pulangan yang lebih adil daripada keseluruhan nilai rantaian industri?
Dan yang ketiga Puan Yang di-Pertua, ketegasan hukuman mesti disertai dengan keadilan. Menurut data kementerian, sebanyak 1,957 kes direkodkan dari 2020 hingga 2026, sedangkan penalti am ini tidak pernah dipinda sejak 1994.
Dato’ Haji Shamshulkahar bin Mohd Deli - Jempol
Oleh yang demikian, pindaan Akta 522 dengan menaikkan denda individu daripada RM15,000 kepada RM250,000, manakala bagi syarikat daripada RM25,000 kepada RM500,000 dan sehingga RM1 juta bagi kesalahan berulang adalah wajar.
Namun demikian, ketegasan mesti kekal adil dan berkadar. Kesalahan berat seperti menyeleweng atau menyembunyikan stok tidak wajar disamakan dengan kesalahan teknikal seperti gagal mempamer lesen atau label. Hukuman mesti setimpal dengan tahap kesalahan.
Persoalan Jempol, bagaimana kerajaan memastikan hukuman berat benar- benar dikenakan terhadap kartel yang memanipulasi pasaran dan menyeleweng stok, manakala kesalahan teknikal oleh pemain kecil ditangani secara adil dan berkadar?
Kesimpulannya, Puan Yang di-Pertua, pindaan ini mesti memastikan beras tempatan sampai kepada rakyat, pesawah menerima pulangan yang adil dan ketirisan dibanteras dengan tegas. Jempol mohon menyokong. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Terima kasih, Yang Berhormat Jempol. Saya jemput Yang Berhormat Kangar.
Tuan Zakri bin Hassan - Kangar
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam sejahtera. Terlebih dahulu, saya mengalu-alukan kedatangan AJK Parti Rakyat Sarawak (PRS) Cawangan Engkilili, Lubok Antu. Selamat datang...
[Tepuk] Terima kasih Tuan Yang di-Pertua atas peluang yang diberikan untuk saya membahaskan RUU ini.
Pertama sekali, solidariti untuk pasukan Mesir kerana kekalahan dalam FIFA World Cup di tangan Argentina. Seluruh dunia mengecam FIFA atas game yang amat kontroversi dan manipulasi. Okey.
Saya mulakan dengan analogi untuk RUU ini. Ada seorang petani, nama dia Pak Mat. Beliau merupakan seorang petani di utara Semenanjung Malaysia. Beliau mengerjakan sawah...
[Dicelah] Ha, Perlis. Beliau mengerjakan sawah sejak turun- temurun. Dengan hasil jualan padi yang tidak seberapa, beliau menyara kehidupan keluarganya dan kadang-kadang terpaksa berhutang kepada broker.
Ada seorang lagi. Kalau tadi Pak Mat, yang ini Pak Mid. Pak Mid pula. Pak Mid ini seorang peniaga nasi lemak dan nasi campur di Kuala Lumpur, bandar besar.
Dengan hasil jualan inilah beliau menyarakan keluarganya. Beliau membeli beras import dengan harga yang tinggi bagi memastikan keenakan makanannya.
Ada seorang lagi. Nama Pak Mud...
[Dicelah] Pak Mud ini seorang kakitangan awam rendah bekerja di Shah Alam. Isterinya bekerja di pejabat yang sama, bekerja dekat Ampang. Kehidupan mereka sentiasa sukar demi menyara kehidupan, menyara lima orang anak. Mereka pun membeli beras import kerana ketiadaan beras tempatan, walaupun Malaysia mempunyai sawah yang luas.
Dan yang terakhir, ada pula Mr. X, seorang usahawan yang berjaya dan terlibat dalam urusan jualan input-input pertanian seperti benih-benih padi, racun dan lain-lain keperluan. Kehidupannya agak stabil dan merupakan usahawan yang berjaya serta mempunyai modal yang agak besar. Beliau tidak kisah harga padi tinggi ataupun rendah, beliau tetap mampu menjual input-input pertanian kepada petani.
Jadi, di sini saya telah memberi empat analogi yang terlibat dalam sektor padi dan beras negara.
Tuan Yang di-Pertua, saya pergi kepada fasal 2― perenggan 4(2)(c) Akta 522, dengan menggantikan perkataan “menetapkan” dengan perkataan “menguatkuasakan”. Secara prinsip, saya sokong pindaan ini kerana ia memberi asas undang-undang yang lebih jelas untuk kerajaan campur tangan apabila berlaku ketidakseimbangan pasaran. Dalam keadaan kos pengeluaran pesawah meningkat dan harga beras di pasaran pula terdedah kepada manipulasi, kuasa untuk menetapkan harga maksimum atau minimum penting bagi melindungi pesawah dan pengguna.
Namun begitu, YB Menteri perlu berani dalam menjaga kebajikan petani.
Petani bukanlah NGO yang bekerja secara sukarela tetapi mereka adalah penyumbang sektor pertanian kepada keterjaminan makanan negara. Tangan petani seolah-olah diikat tanpa boleh membuat keputusan dalam menentukan harga padi mereka.
Bagi pesawah, harga minimum memastikan hasil titik peluh mereka tidak dibeli terlalu rendah sehingga menjejaskan pendapatan dan kelangsungan hidup mereka. Bagi pengguna pula ataupun rakyat Malaysia, harga maksimum dapat mengelakkan kenaikan harga beras yang melampau seterusnya membebankan rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah. Bagi golongan pemodal ataupun pembekal input-input pertanian, harga macam mana pun boleh. Harga beras rendah pun kami untung, apatah lagi harga beras yang tinggi.
Namun begitu, saya ingin tegaskan bahawa kuasa ini mestilah dilaksanakan dengan telus berdasarkan data dan tidak bersifat ad hoc. Penetapan harga maksimum atau minimum tidak boleh secara sewenang-wenangnya. Ia perlu mengambil kira kos input, kadar hasil, kos logistik, margin munasabah, keadaan bekalan tempatan, harga beras import serta kemampuan pengguna.
Tuan Yang di-Pertua, apakah mekanisme yang akan digunakan oleh Ketua Pengarah untuk menentukan harga maksimum atau minimum? Adakah ia akan berdasarkan formula tetap, jawatankuasa teknikal atau semakan berkala bersama pihak berkepentingan?
Jika harga maksimum beras ditetapkan, apakah langkah-langkah penguatkuasaan bagi mengelakkan penyorokan stok, jualan bersyarat atau manipulasi bekalan oleh pihak tertentu? Adakah Kerajaan Malaysia boleh memberi subsidi harga beras kepada rakyat Malaysia?
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Masa sudah tamat.
Tuan Zakri bin Hassan - Kangar
Okey. Saya nak tamatkan. Jadi, saya berharap pindaan ini benar-benar menjadi alat untuk menstabilkan pasaran dan melindungi kepentingan rakyat. Jika ini berjaya, negara kita akan menjadi lebih makmur dengan semua pihak mendapat manfaatnya.
Jadi, saya sokong pindaan akta, RUU ini. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Terima kasih Yang Berhormat Kangar. Saya jemput Yang Berhormat Tuaran.
Datuk Seri Panglima Madius bin Tangau - Tuaran
Puan Yang di-Pertua, pada prinsipnya, Tuaran menyokong hasrat kerajaan untuk memperkukuhkan Akta Kawalan Padi dan Beras 1994. Negara memerlukan undang-undang yang tegas bagi membanteras penipuan, penyorokan bekalan, pemalsuan gred beras, manipulasi pasaran dan kegiatan kartel yang menindas pesawah serta pengguna.
Namun, Tuaran berpandangan bahawa pindaan ini tidak boleh dilihat sekadar sebagai usaha memperketatkan penguatkuasaan. RUU ini seharusnya menjadi sebahagian daripada strategi nasional untuk memperkukuhkan keterjaminan makanan negara, meningkatkan pengeluaran padi tempatan dan mengurangkan kebergantungan kepada import beras.
Puan Yang di-Pertua, pindaan ini meningkatkan penalti dengan begitu ketara.
Tuaran tidak mempertikaikan tindakan tegas terhadap kartel atau mana-mana pihak yang mengambil kesempatan daripada keperluan asas rakyat. Tetapi, Tuaran ingin bertanya pada Yang Berhormat Menteri, adakah masalah sebenar industri padi negara berpunca daripada hukuman yang terlalu ringan, atau sebenarnya berpunca daripada produktiviti yang masih rendah, kos pengeluaran yang semakin meningkat, pendapatan pesawah yang masih belum memadai serta kebergantungan negara kepada bekalan beras import? Jika kan masalah tidak diselesaikan, kita hanya menghukum simptom tanpa merawat penyakitnya.
Hari ini, persoalan yang lebih besar ialah bukan bagaimana kita mengawal beras tetapi bagaimana kita menghasilkan lebih banyak beras.
Tuan Yang di-Pertua, Tuaran ingin menyentuh mengenai kuasa yang begitu luas diberikan kepada Menteri melalui seksyen 29. Menteri diberi kuasa membuat pelbagai peraturan mengenai penggredan beras, pelabelan kawalan harga, pemindahan padi dan beras serta pelbagai perkara lain. Kuasa yang luas mestilah diimbangi dengan akauntabiliti yang tinggi.
Datuk Seri Panglima Madius bin Tangau - Tuaran
Tuaran mencadangkan supaya sebelum sesuatu peraturan dibuat di bawah seksyen ini, Menteri diwajibkan mengadakan rundingan rasmi dengan wakil pesawah, pengilang, pengguna, kerajaan berautonomi pertanian seperti wilayah Sabah dan Sarawak serta negeri-negeri di Semenanjung dan semua yang berkepentingan. Sebab dasar yang baik lahir daripada konsultasi dan pematuhan kerana Perlembagaan Persekutuan seperti Perkara 161E.
Puan Yang di-Pertua, izinkan Tuaran membawa perhatian Dewan yang mulia ini kepada satu perkara yang Tuaran anggap paling penting dalam perbahasan ini iaitu kedudukan wilayah berautonomi pertanian, Sabah dan Sarawak dalam urus tadbir pertanian negara. Kita mesti senantiasa ingat bahawa Malaysia bukanlah sebuah negara unitary.
Malaysia ialah sebuah Persekutuan yang dibentuk bersama pada tahun 1963 oleh Persekutuan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura melalui triti antarabangsa, di antaranya United Kingdom dan Nothern Island juga Singapura.
Yang secara kebetulannya Puan Yang di-Pertua, triti tersebut ditandatangani pada hari ini sebenarnya, 9 Julai. Hari ini adalah anniversary ke-63 MA63. Atas sebab itulah, Perlembagaan Persekutuan melalui Perkara 95B dan Jadual Kesembilan memberikan kedudukan khas pada wilayah Sabah dan Sarawak dengan pembahagian kuasa perundangan dan kuasa eksekutif.
Manakala Perkara 161E pula memberikan perlindungan terhadap bidang kuasa tersebut daripada dipinda tanpa persetujuan sebagaimana yang diperuntukkan oleh Perlembagaan. Sektor pertanian bukan sekadar berkaitan pengeluaran makanan, ia berkait rapat dengan tanah, pembangunan luar bandar, sistem pengairan, penyelidikan pertanian, keselamatan makanan dan pelaksanaan dasar di peringkat wilayah.
Oleh itu, apabila rang undang-undang ini memberi kuasa yang begitu luas kepada Menteri untuk membuat pelbagai peraturan di bawah seksyen 29, Tuaran ingin bertanya kepada Yang Berhormat Menteri. Apakah jaminan bahawa kuasa tersebut tidak akan mencerobohi bidang kuasa atau fungsi Kerajaan Wilayah Sabah dan Sarawak sebagaimana yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan?
Lebih penting lagi, Tuaran ingin mengemukakan satu gagasan baru yang Tuaran percaya sudah tiba masanya dipertimbangkan oleh kerajaan. Dalam soal keselamatan makanan negara, kita tidak boleh lagi mengamalkan pendekatan pentadbiran yang terlalu berpusat. Sudah tiba masanya Malaysia mengamalkan konsep Federal agricultural governance iaitu satu pendekatan, di mana dasar-dasar strategik mengenai pertanian padi dan beras dijangka, dirangka secara bersama oleh Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Wilayah Sabah dan Kerajaan Wilayah Sarawak. Inilah semangat sebenar sebuah Persekutuan. Inilah federalism yang matang dan Tuaran percayai inilah juga semangat yang melahirkan Malaysia pada tahun 1963.
Oleh yang demikian, Tuaran berpandangan bahawa bagi mana-mana peraturan dibuat di bawah seksyen 29 yang menyentuh pelaksanaan fungsi atau bidang kuasa Kerajaan Wilayah Sabah dan Sarawak dalam sektor pertanian, Kerajaan Persekutuan hendaklah mendapatkan persetujuan kerajaan kedua-dua wilayah yang berkenaan apabila perkara itu melibatkan bidang kuasa yang dilindungi oleh Perlembagaan.
Bagi perkara-perkara lain, sekurang-kurangnya hendaklah diwujudkan mekanisme perundingan rasmi yang bermakna sebelum suatu peraturan dikuatkuasakan. Federalism bukan sekadar hak untuk didengar, federalism adalah hak untuk turut untuk menentukan dasar apabila dasar tersebut memberi kesan kepada bidang kuasa dan kepentingan wilayah. Puan Yang di-Pertua, Sabah mempunyai cabaran yang jauh berbeza daripada Semenanjung.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Sila gulung.
Datuk Seri Panglima Madius bin Tangau - Tuaran
Sebahagian besar bekalan beras kami bergantung kepada pengangkutan laut. Kos logistik lebih tinggi, majoriti pesawah kami ialah pesawah kecil. Kami mempunyai kawasan penanaman padi bukit dan kawasan pedalaman yang memerlukan pendekatan pembangunan berbeza.
Pendekatan one size fits all tidak semestinya sesuai. Apa yang sesuai di Kedah, belum tentu sesuai di Kota Belud. Apa yang sesuai di Perlis, belum tentu sesuai di Tambunan. Dan apa yang sesuai di Tanjong Karang, belum tentu sesuai di Tuaran. Justeru, dasar nasional mestilah cukup flexible untuk mengambil kira realiti wilayah Sabah dan Sarawak.
Puan Yang di-Pertua, Tuaran ingin mengemukakan empat cadangan.
Pertama, kerajaan mewujudkan mekanisme konsultasi tetap bersama Kerajaan Wilayah Sabah dan Sarawak melalui pendekatan Federal agricultural governance serta semua pihak berkepentingan sebelum sesuatu peraturan dibuat di bawah akta ini.
Kedua, bagi mana-mana peraturan yang menyentuh bidang kuasa atau fungsi wilayah Sabah dan Sarawak dalam sektor pertanian, persetujuan Kerajaan Sabah dan Sarawak hendaklah diperoleh apabila perkara itu melibatkan bidang kuasa yang dilindungi oleh Perlembagaan. Di sinilah letaknya peranan dan kewajipan Menteri Hal Ehwal Sabah dan Sarawak di Jabatan Perdana Menteri untuk memastikan agar adanya pematuhan kepada kehendak Perlembagaan.
Ketiga, kerajaan hendaklah membentangkan kepada Parlimen setiap tahun, laporan keterjaminan beras negara yang mengandungi data mengenai pengeluaran, import, stok simpanan, tahap sara diri, beras dan pencapaian setiap wilayah iaitu Wilayah Semenanjung, Wilayah Sabah dan Wilayah Sarawak.
Keempat, kerajaan menyediakan pelan tindakan keterjaminan makanan negara yang menetapkan sasaran jelas untuk meningkatkan pengeluaran padi, memperkukuhkan produktiviti pesawah, mengurangkan kebergantungan kepada import dan meningkatkan tahap sara diri negara. Puan Yang di-Pertua, keselamatan makanan adalah soal kedaulatan negara.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Yang Berhormat, masa sudah tamat.
Datuk Seri Panglima Madius bin Tangau, - Tuaran
Satu point lagi, Puan Yang di-Pertua. Ia bukan sekadar soal penguatkuasaan, ia adalah soal masa hadapan pesawah kita. Ia adalah soal hak rakyat untuk menikmati makanan ruji pada harga yang berpatutan. Bagi wilayah Sabah dan Sarawak, ia juga adalah soal menghormati struktur Persekutuan yang dipersetujui ketika Malaysia dibentuk.
Tuaran percaya sudah tiba masanya Malaysia beralih daripada pendekatan Federal agricultural administration kepada Federal agricultural governance, daripada pentadbiran secara berpusat kepada tadbir urus secara perkongsian. Hanya melalui perkongsian yang sebenar antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Sabah dan Kerajaan Sarawak, kita akan dapat membina sebuah Malaysia yang benar-benar berdaulat dari segi makanan, kukuh dari segi Perlembagaan dan makmur seluruh rakyat.
Dengan semangat itu, Tuaran menyokong rang undang-undang ini dengan harapan kerajaan bersedia meneliti cadangan-cadangan yang telah Tuaran kemukakan demi perkukuhkan keterjaminan makanan serta memartabatkan semangat federalism menjadi asas [Tidak jelas] Sekian, Tuaran mohon menyokong.
Terima kasih Puan Yang di-Pertua.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Terima kasih Yang Berhormat Tuaran. Saya jemput Yang Berhormat Padang Terap.
Tuan Nurul Amin bin Hamid - Padang Terap
Terima kasih Tuan Yang di- Pertua. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Bismillah walhamdulillah.
Terima kasih kerana memberi ruang kepada Padang Terap untuk membahaskan Akta Kawalan Padi dan Beras [Akta 522]. Di luar sana ada satu keresahan yang sangat kuat iaitu keresahan yang berlaku di kalangan pesawah iaitu tentang kos yang dihadapi oleh para pesawah.
Kos untuk menghasilkan satu hektar sawah. Pendapatan kasar pesawah satu musim dianggarkan RM8,100 tetapi kos penghasilan padi mencecah RM6,620.
Selepas ditolak zakat padi, pendapatan bersih pesawah hanya lebih kurang tinggal RM900 untuk tempoh enam bulan. Ini bermaksud, pesawah yang menanggung risiko banjir, kemarau, penyakit, tanah jerlus, harga turun dan hasil susut, akhirnya hanya mendapat sekitar RM150 sebulan untuk satu hektar sawah.
Maka, persoalan utama saya kepada pihak kerajaan. Adakah pindaan ini benar-benar membela pesawah atau hanya menambah kuasa kawalan ke atas industri tanpa membetulkan punca tekanan yang dihadapi lebih kurang 200,0000 pesawah di seluruh negara?
Tuan Yang di-Pertua, saya akui dari sudut penguatkuasaan ada keperluan untuk memperketat undang-undang, penalti lama terlalu rendah. Kenaikan ini sangat penting untuk memastikan semua pihak mematuhi undang-undang. Kalau penguatkuasaan hanya mudah turun kepada peruncit kecil, pembeli kecil, pesawah kecil tetapi gagal menyentuh kartel besar, pengilang besar, pemborong utama, manipulasi stok pencampuran beras, ketirisan dalam rantaian bekalan, maka pindaan ini hanya nampak garang di atas kertas sahaja.
Saya mahu pihak kerajaan menjawab dengan jelas. Daripada hampir 2,000 kes yang direkodkan tahun 2020 hingga Mei 2026, berapa banyak melibatkan pemain yang besar? Bukan pemain yang kecil. Berapa banyak lesen pengilang, pemborong dan pembeli padi utama yang telah digantung? Berapa banyak kes manipulasi stok atau pencampuran beras berjaya disabitkan? Jika jawapannya kecil, maka masalah kita bukan hanya denda, masalah kita ialah keberanian penguatkuasaan, terutama kepada pemain industri yang besar.
Tuan Yang di-Pertua, hal yang kedua ialah saya merujuk kepada fasal 2 pindaan seksyen 4(2)(c) yang memberi kuasa kepada ketua pengarah dengan kelulusan Menteri untuk menetapkan harga maksimum atau minimum bagi padi dan beras. Kuasa ini mesti digunakan untuk memastikan harga beras terkawal tetapi pada masa yang sama, harga padi tidak menekan pesawah.
Tuan Yang di-Pertua, saya ingin menyentuh tentang beras Kedah. Harap ada respons daripada pihak Menteri, beras Kedah.
Tuan Nurul Amin bin Hamid - Padang Terap
Kedah merupakan pengeluar beras utama negara. 43 peratus bekalan beras negara datang daripada Kedah. Beras Kedah dijangka berada di pasaran pada penghujung 2026, di mana pihak kerajaan sekarang dalam proses bekerjasama dengan pelbagai pihak termasuk pihak universiti dan pemain industri untuk melakukan kajian ke atas benih baru dengan varieti benih padi terbaik berbanding varieti yang sedia ada.
Ini bukan sekadar jenama baru, ia adalah usaha Kerajaan Negeri Kedah, negeri jelapang padi untuk membantu rakyat mendapatkan beras pada harga yang lebih munasabah, lebih murah khususnya ketika bekalan beras tempatan sering menjadi rungutan rakyat.
Dalam hal ini, saya merujuk pada fasal 2, pindaan seksyen 4(2)(c) yang memberi kuasa kepada ketua pengarah dengan kelulusan Menteri iaitu menggubal peraturan berkaitan pelesenan padi, penetapan gred beras, kawalan harga beras mengikut gred serta pengawalseliaan [Tidak jelas] padi beras.
Di sinilah kerajaan perlu berhati-hati. Jangan sampai Akta 522 ini menjadi tembok birokrasi kepada usaha negeri jelapang padi. Jika Kedah mahu membeli padi, mengilang, membungkus, mengedarkan beras Kedah secara sah, proses lesen pembeli padi, lesen kilang, pemborong, peruncit gred dan pemindahan mesti dipermudahkan dengan garis panduan yang jelas.
Saya menyokong fasal 3, pindaan seksyen 22 yang menaikkan penalti terhadap kesalahan dalam industri padi dan beras. Hukuman berat wajar dikenakan kepada kartel, penyorok, manipulator gred dan pemain besar yang merosakkan pasaran.
Tuan Yang di-Pertua, saya menyokong Akta 522 ini diperkukuhkan dan memberikan sokongan kepada Kerajaan Negeri Kedah untuk mengeluarkan beras Kedah pada masa yang akan datang. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Terima kasih Yang Berhormat Padang Terap. Saya jemput Yang Berhormat Sik.
Tuan Ahmad Tarmizi bin Sulaiman - Sik
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Terima kasih Yang Berhormat Tuan Yang di- Pertua.
Padi menguning hasil dibela, Rezeki pesawah jangan disia, Jika kartel terus bermaharajalela, Undang dipinda tiada bermakna. Ya, pada prinsipnya saya menyokong usaha memperkukuhkan penguatkuasaan untuk kawalan beras dan padi kita. Namun, saya ingin menegaskan bahawa pindaan ini hanya menguatkan hukuman tetapi belum tentu menguatkan sistem kita. Masalah industri padi negara kita ini bukan sekadar berpunca daripada kelemahan undang-undang tetapi kegagalan membina keseluruhan ekosistem yang telus, cekap dan adil kepada pesawah serta pengguna.
Tuan Yang di-Pertua, saya ingin mengingatkan di Dewan ini bahawa sepanjang krisis beras putih tempatan sejak tahun 2023, rakyat berdepan keadaan yang amat membimbangkan. Malaysia menghasilkan jutaan tan padi setiap tahun, namun rakyat masih sukar mendapatkan beras putih tempatan di pasaran.
Jadi, persoalannya ke mana sebenarnya beras tempatan itu pergi? Hilang pi mana? Disorok ataupun dimakan oleh tikus atau sebagainya? Adakah ia benar- benar tidak mencukupi atau berlaku manipulasi dalam rantaian bekalan atau berlaku percampuran dengan beras import demi keuntungan pihak-pihak yang tamak dan haloba ini?
Sehingga hari ini, rakyat masih belum menerima jawapan yang benar-benar meyakinkan. Justeru, saya ingin bertanya kepada Yang Berhormat Menteri, apakah hasil siasatan kerajaan terhadap punca sebenar kehilangan beras tempatan ketika itu? Berapa syarikat yang telah didakwa? Berapa lesen yang telah dibatalkan dan berapa individu yang telah dipenjarakan? Jika jawapannya masih terlalu kecil, maka masalahnya bukan pada hukuman yang ringan tetapi kegagalan penguatkuasaan.
Tuan Yang di-Pertua, pindaan ini iaitu menaikkan denda sehingga RM500,000 bagi individu dan RM1 juta kepada syarikat. Saya tidak mempertikaikan kadar hukuman tetapi saya ingin mengetahui berapa kadar sabitan kes di bawah Akta Kawalan Padi dan Beras dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini?
Jika kadar sabitan rendah, hukuman setinggi mana sekalipun tidak akan menakutkan kartel-kartel yang tamak dan haloba ini. Yang menggerunkan penjenayah bukan besar hukumannya tetapi kepastian bahawa mereka akan ditangkap, didakwa dan disabitkan hukuman itu.
Tuan Yang di-Pertua, saya juga ingin menyentuh soal kartel. Ya, rakyat sering mendengar istilah kartel beras tetapi sehingga ke hari ini rakyat tidak tahu siapa mereka, berapa besar penguasaan mereka, berapa keuntungan yang mereka perolehi, apakah tindakan yang telah diambil? Kalau kartel ini benar-benar wujud, mengapa mereka masih mampu menguasai pasaran? Kalau kartel ini tidak wujud, mengapa harga dan bekalan beras boleh berubah serentak di seluruh negara. Jadi, kerajaan mesti memberikan jawapan yang lebih telus.
Tuan Yang di-Pertua, pindaan ini turut memberikan kuasa yang lebih luas kepada pegawai penguat kuasa sepertimana yang disebut oleh beberapa Ahli Dewan yang lain. Saya menyokong kuasa tersebut tetapi juga kita mohon kerajaan memastikan kuasa ini tidak disalahgunakan terhadap pengilang kecil, pemborong kecil dan pesawah yang sekadar melakukan kesilapan pentadbiran.
Yang mesti diburu ialah sindiket-sindiket kartel yang besar, yang mungkin ada di dalam negara atau di luar negara. Yang mesti dihukum ialah dalang yang mengaut keuntungan berjuta-juta di atas keringat pesawah-pesawah kita, di atas keperluan seluruh rakyat kita. Bukan hanya pemain kecil yang menjadi mangsa.
Saya mencadangkan setiap tindakan penyitaan dan pelucut harta yang dilakukan ataupun yang telah pun dipastikan kesalahan itu dan didakwa di mahkamah mesti dilaporkan kepada awam, kepada rakyat supaya ada semak dan imbang di semua peringkat.
Tuan Yang di-Pertua, isu yang paling besar sebenarnya ialah kebajikan rakyat yang kita lihat keseluruhan lebih 200,000 pesawah-pesawah kita. Kelmarin, mereka kumpulan pesawah daripada utara, daripada tengah, daripada Perak, daripada Kedah, mereka datang ke hadapan Parlimen, telah pun menyampaikan, menyerahkan memorandum berkaitan dengan Akta Varieti Benih Padi, ketika mana kita juga sedang bertanya kepada pihak kementerian, adakah yang disebut UPOV 1991 itu akan dibentangkan di Dewan ini yang sudah pastilah pesawah-pesawah ingin mengetahui kedudukan sebenar bagaimana hak mereka untuk menjaga, mengawal benih-benih padi mereka.
Purata pendapatan pesawah yang kita ketahui masih rendah, sedangkan kos pengeluaran terus meningkat. Harga baja, racun, diesel, jentera dan upah menuai itu terus naik. Dan persoalan saya, selepas pindaan ini diluluskan, apakah perubahan nyata yang akan dinikmati oleh pesawah?
Tuan Yang di-Pertua, yang terakhir. Kita juga mempersoalkan berkaitan bagaimana untuk meningkatkan pendapatan mereka, bagaimana usaha untuk kita mengurangkan kos pengeluaran supaya kos-kos input ini dapat kita kawal dengan sebaiknya. Dan adakah harga lantai padi akan dikaji semula atau hanya hukuman yang meningkat tetapi nasib pesawah tidak berubah. Dan kita juga perlu melihat isu keselamatan makanan negara, tahap sara diri SSL beras di Malaysia kita masih lagi sekitar 56 hingga 62 peratus dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Ini bermakna hampir 40 peratus keperluan negara masih bergantung kepada import. Dalam keadaan perubahan iklim, konflik geopolitik dan sekatan eksport makanan oleh negara pengeluar, pergantungan seperti ini merupakan risiko yang strategik kepada negara.
Yang terakhirnya, saya mohon untuk kita melihat ini juga sebagai pelan Transformasi Industri Padi negara dan ia perlu dilihat juga untuk jangka masa yang panjang. Dan sebagai akhirnya, sebagai rumusannya, kalau nak dilihat kejayaan kepada pindaan RUU ini, ia sebenarnya dilihat apabila:
(i) rakyat boleh membeli beras tempatan dengan mudah;
(ii) pesawah memperoleh pendapatan yang bermaruah;
(iii) kartel-kartel benar ditumpaskan; dan
(iv) rantaian bekalan menjadi telus dan negara mencapai tahap keselamatan makanan yang lebih kukuh.
Padi dituai penuh harapan, Menjadi rezeki seluruh watan; Jangan hanya dinaikkan hukuman, Akar masalah mesti diselesaikan. Tuan Yang di-Pertua, sekian terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Terima kasih Yang Berhormat Sik. Saya jemput Yang Berhormat Kepong.
Tuan Lim Lip Eng - Kepong
Terima kasih Puan Yang di-Pertua. Tahun lepas, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri mengarahkan syarikat BERNAS untuk memberikan bantuan dana khas sebanyak RM90 juta kepada pesawah direct.
Soalan saya, bagaimana tahun ini? Adakah wajar dan praktikal untuk kerajaan mengarahkan BERNAS mengulangi bantuan khas tersebut?
Seterusnya Puan Yang di-Pertua, saya menyokong tindakan tegas terhadap penyorokan, manipulasi harga dan penipuan dalam rantaian padi serta beras tetapi RUU ini mempunyai beberapa kelemahan besar yang perlu diperbetulkan. Pertama, kuasa menetapkan harga padi menjadi tidak jelas. Di bawah akta sedia ada, ketua pengarah dengan kelulusan Menteri boleh menetapkan harga maksimum atau minimum bagi padi atau beras. RUU ini menukar kuasa itu kepada kuasa untuk menguatkuasakan harga sahaja.
Pada masa yang sama, kuasa baru Menteri di bawah seksyen 29 hanya menyebut penetapan gred beras dan kawalan harga bagi beras bergred.
Tuan Lim Lip Eng - Kepong
Ia tidak menyebut dengan jelas harga maksima atau minimum bagi paip padi dan juga tidak menjelaskan kedudukan beras yang belum digredkan. Ini bukan isu kecil, harga padi menentukan pendapatan pesawah. Jika ketua pengarah hanya boleh menguatkan harga, siapa yang mempunyai kuasa nyata untuk menetapkan harga padi? Jangan wujudkan kekosongan atau pertikaian kuasa dalam perkara yang menyentuh mata pencarian pesawah.
RUU ini perlu menyatakan dengan jelas bahawa Menteri boleh menetapkan berharga minimum atau maksimum bagi padi dan beras. Manakala ketua pengarah menguatkuasakan perintah tersebut.
Kedua, RUU ini tidak menjelaskan perubahan sebenar terhadap sistem sedia ada. Akta sekarang sudah memberi ketua pengarah kuasa mengawal pemindahan padi atau beras. Kementerian juga sudah menyenaraikan peraturan mengenai pelesenan pemberi padi sejak tahun 1996. Sekatan pemindahan antara negeri sejak tahun 1997, serta kawalan gred dan harga beras.
Maka, kerajaan mesti menjawab dengan terus terang adakah pindaan ini hanya mengesahkan peraturan lama, memperluas kuasa Menteri atau menggantikan mekanisme sedia ada? Parlimen tidak boleh diminta meluluskan kuasa baru, tanpa mengetahui peraturan yang akan dibuat selepas ini. Draf peraturan mengenai gred harga dan pemindahan beras patut dibentangkan bersama RUU ini.
Ketiga, struktur hukuman RUU ini tidak konsisten. RUU menaikkan penalti am sehingga RM250,000 bagi individu dan RM500,000 bagi syarikat. Dengan denda lebih tinggi bagi kesalahan berulang. Namun, subseksyen baru 29(2) membenarkan peraturan menetapkan kesalahan dengan denda maksimum hanya RM15,000 atau penjara enam bulan.
Akibatnya, kesalahan di bawah peraturan yang dinyatakan secara khusus bahawa membawa denda maksimum RM15,000, tetapi kesalahan di bawah peraturan yang tiada penalti khusus boleh tertakluk kepada denda jauh lebih tinggi di bawah seksyen 22. Ini mewujudkan dua tahap hukuman bagi kesalahan yang mungkin sama serius.
Syarikat besar tidak patut boleh melihat denda RM15,000 sebagai kos perniagaan. RUU ini perlu memasukkan jadual penalti yang jelas. Kesalahan kecil boleh dikenakan kompaun tetapi penipuan terancang, manipulasi stok, pelanggaran lesen berulang dan kesalahan oleh syarikat besar mesti membawa penalti yang setimpal, termasuk denda lebih tinggi bagi kesalahan berulang.
Keempat, pelesenan pembeli padi mesti melindungi pesawah. RUU ini memasukkan pembeli padi dalam kuasa pelesenan, tetapi tidak meletakkan perlindungan asas seperti rekod timbang dan gred, tempoh bayaran atau jaminan kewangan jika pembeli gagal membayar pesawah.
Di Kanada, syarikat bijirin berlesen perlu menyediakan sekuriti untuk melindungi bayaran kepada pengeluar dan dokumen penghantaran perlu menunjukkan gred, berat serta tarikh penghantaran. Malaysia perlu mewajibkan pembeli padi berlesen mengeluarkan rekod lengkap, membayar dalam tempoh tetap ,dan menyediakan jaminan kewangan yang munasabah. RUU ini tidak boleh sekadar menaikkan denda, ia mesti menjelaskan kuasa harga, menghapuskan keliruan penalti dan memberi perlindungan sebenar kepada pesawah. Sekian, terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Terima kasih Yang Berhormat Kepong. Saya jemput Yang Berhormat Kulim-Bandar Baharu.
Tuan Roslan bin Hashim - Kulim-Bandar Baharu
Bismillahirrahmanirrahim, assalamualaikum dan salam sejahtera. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua kerana memberi peluang kepada saya untuk turut mengambil bahagian dalam perbahasan Rang Undang-undang Padi dan Beras (Pindaan) 2026.
Saya menyokong pindaan ini bagi membanteras penyeludupan beras, penyelewengan bekalan dan manipulasi pasaran. Setiap kali krisis berlaku, pesawah terus tertekan, pengguna terus resah dan yang kaya hanyalah orang tengah serta sindiket.
Tuan Yang di-Pertua, saya menyambut baik pindaan seksyen 22, yang meningkatkan penalti am. Denda yang tidak dipinda sejak tahun 1994, memang sudah tidak lagi relevan. Kenaikan kepada RM250,000 bagi individu dan RM500,000 bagi syarikat adalah langkah yang tepat.
Kalau sindiket boleh mengaut keuntungan ratusan ribu, malah jutaan ringgit, sudah tentu denda RM15,000 tidak memberikan sedikit pun rasa gerun. Lebih membimbangkan antara tahun 2020 hingga Mei 2026, hampir 2,000 kes direkodkan dan sebahagian besarnya melibatkan padi dan beras daripada sumber tidak sah.
Tetapi adakah masalah sebenar kita hari ini ialah undang-undang yang lemah atau penguatkuasaan yang masih longgar?
Kalau sebelum ini denda maksimum RM15,000, tetapi mahkamah hanya menjatuhkan denda sekitar RM8,000 dalam berapa kes. Apakah jaminan, selepas ini mahkamah akan menggunakan ruang hukuman yang lebih tinggi. Kalau tangkapan masih sedikit, risikan masih lemah dan sindiket masih bebas bergerak, sebesar mana pun denda tidak akan membawa makna.
Sebab itulah saya mencadangkan supaya kementerian menetapkan KPI penguatkuasaan secara bersama melibatkan kementerian, Kastam Diraja Malaysia dan semua agensi sempadan. Jangan lagi bekerja secara silo, sedangkan sindiket bergerak sebagai satu rangkaian.
Tuan Yang di-Pertua, saya juga menyokong pindaan yang memperjelaskan pengasingan kuasa antara Menteri dan ketua pengarah. Ini satu langkah pentadbiran yang baik kerana Menteri menentukan dasar manakala ketua pengarah memberi tumpuan kepada penguatkuasaan.
Namun saya ingin mengingatkan kerajaan, semakin besar kuasa, semakin besar juga keperluan kepada semak dan imbang. Kita tidak mahu suatu hari nanti timbul persepsi bahawa penguatkuasaan hanya tegas terhadap perniagaan kecil tetapi longgar terhadap pemain industri yang besar.
Laporan Pesuruhjaya Pengasingan Malaysia (MyCC) sebelum ini telah membangkitkan isu berkaitan ketelusan dalam industri beras. Jadi, saya ingin bertanya kepada Menteri apakah mekanisme yang akan wujud bagi memastikan pegawai penguat kuasa sendiri, sentiasa dipantau?
Saya mencadangkan penubuhan jawatankuasa pemantauan bebas yang melibatkan MyCC, wakil pesawah, ahli akademi dan juga berkepentingan bagi menilai pelaksanaan penguatkuasa secara berkala. Kita mahu rakyat yakin bahawa tindakan diambil berdasarkan undang-undang, bukannya berdasarkan siapa yang mempunyai pengaruh.
Tuan Yang di-Pertua, saya juga menyambut baik pengenalan penalti khusus di bawah seksyen 29. Pada pandangan saya, inilah pendekatan yang lebih adil. Tidak semua kesalahan wajar dilayan seperti jenayah penyeludupan. Kesalahan pentadbiran seperti gagal mempamerkan lesen atau tanda harga memang perlu dikenakan tindakan tetapi hukumannya mestilah setimpal.
Jangan sampai peniaga kecil yang tersalah mengisi dokumen, dilayan sama seperti penyeludupan beras yang mengaut keuntungan berjuta-juta ringgit. Namun saya ingin mengingatkan kementerian bahawa banyak kesalahan pentadbiran bergantung kepada tafsiran pegawai yang di lapangan.
Justeru, kementerian perlu mengeluarkan SOP yang jelas dan seragam supaya tidak timbul ruang kepada salah tafsir atau penyalahgunaan kuasa. Saya juga mencadangkan supaya diperkenalkan first warning system bagi kesalahan pentadbiran kali pertama. Kerajaan perlu mendidik sebelum menghukum. Yang degil dan yang berulang kali melakukan kesalahan barulah tindakan tegas diambil.
Tuan Yang di-Pertua, rang undang-undang ini juga meluluskan denda sehingga ratusan ribu ringgit tapi rakyat tidak akan menilai kejayaan akta ini berdasarkan jumlah denda yang tertulis dalam undang-undang. Rakyat akan menilai berdasarkan satu perkara yang sangat mudah.
Adakah selepas akta ini diluluskan, bekalan beras menjadi lebih stabil, harga lebih terkawal, pesawah mendapat peluang yang lebih adil dan sindiket benar-benar berjaya ditumpaskan. Kalau jawapannya masih tidak, maka pindaan ini belum mencapai matlamatnya. Sekian, terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Terima kasih Yang Berhormat Kulim-Bandar Baharu. Saya jemput Yang Berhormat Pasir Salak.
Tuan Haji Jamaludin bin Yahya - Pasir Salak
*Bismillahirrahmanirrahim, assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
[Membaca sepotong doa]* Terima kasih Puan Yang di-Pertua, kerana memberi laluan kepada Pasir Salak. Pasir Salak telah meneliti Rang Undang-undang Kawalan Padi dan Beras
(Pindaan) 2026 ini. Kita akui Akta 522 ini memang perlu dikemas kini memandangkan ia sudah wujud sejak tahun 1994 iaitu 32 tahun yang lalu.
Tuan Haji Jamaludin bin Yahya - Pasir Salak
Kerajaan mempunyai niat yang baik tetapi di Dewan yang mulia ini kita tidak menggubal undang-undang berdasarkan niat semata-mata. Kita menilai keberkesanan pelaksanaan. Pasir Salak berbahas hari ini untuk menuntut jaminan daripada pihak kementerian kerana jika tersilap langkah, akta ini berisiko menekan rakyat yang sedang kita cuba lindungi.
Perkara pertama, mengenai perkara yang meminda seksyen 22 iaitu lonjakan penalti am. Denda maksimum untuk individu melonjak dari RM15,000 kepada RM250,000 bagi kesalahan pertama. Untuk syarikat perbadanan pula denda naik kepada RM500,000 malah boleh pergi sehingga RM1,000,000 untuk kesalahan berulang. Secara bertulis angka, denda ini memang nampak tinggi dan sangat bagus untuk menghapuskan kartel atau sindiket penyeludupan, tambahan pula data kementerian sendiri menunjukkan kesalahan memiliki padi atau beras dari sumber tidak sah merekodkan kes paling tinggi iaitu sebanyak 1,246 kes.
Jadi, hukuman berat ini ada asasnya. Namun persoalan Pasir Salak kepada kementerian, sejauh manakah ketelusan penguatkuasaan ini kelak? Pasir Salak tidak mahu mendengar alasan hanya menjalankan tugas apabila ada pemandu lori upahan, pekerja stor bawahan atau pesawah kecil yang dikenakan denda ratusan ribu ringgit kerana mereka sekadar mengikut arahan majikan.
Pasir Salak mendesak kementerian supaya membentangkan prosedur operasi standard (SOP) yang jelas. Buktikan kepada Dewan ini bahawa undang- undang ini akan benar-benar menghukum jerung pemonopoli dan bukannya menjadi alat penindasan yang menangkap mangsa keadaan di bawah.
Perkara kedua, Menteri kini diberikan kuasa untuk mewajibkan pelesenan kepada pembeli padi selain menetapkan gred dan kawalan harga beras bergred.
Pasir Salak ingin memberi teguran awal kepada kementerian, apakah mewajibkan lesen ke atas pembeli padi, adakah pihak kementerian sudah memikirkan nasib pengusaha kecil di kawasan pedalaman dan kampung-kampung?
Jika syarat pelesenan baharu ini sarat dengan kerenah birokrasi dan kos permohonan yang tinggi, peniaga-peniaga kecil ini pasti tercekik dan terpaksa gulung tikar. Kesudahannya hanya syarikat-syarikat gergasi yang berduit sahaja mampu membeli lesen dan akhirnya memonopoli pembelian padi dari pesawah. Bukankah ini akan memburukkan lagi keadaan.
Pasir Salak menuntut kementerian memberi jaminan bahawa syarat lesen ini kelak tidak akan membunuh usahawan kecil di peringkat akar umbi. Sebagai contoh, pengusaha sawah padi Encik Sulaiman bin Sarkawi dari Sungai Keruing, Sungai Manik yang mengusahakan tiga ekar sawah padi. Modal benih RM750, racun kosnya RM1,395, meroto atau membajak RM30, daftar baja RM64. Total RM2,869 sekali musim sedangkan harga lantai hanya RM1,500. Belum lagi upah menuai dan upah lori dan potongan padi pula sehingga 25 peratus, satu perempat daripada hasil. Ini sangat membebankan.
Akhir sekali di bawah seksyen 29(2) yang baharu wujudnya peruntukan penalti khusus bagi mengawal kesalahan pentadbiran. Kesalahan yang dikategorikan sebagai berimpak minima seperti peniaga kecil gagal pamer lesen atau butiran invois jualan yang tidak lengkap boleh dihukum denda sehingga RM15,000 atau penjara sehingga enam bulan.
Puan Yang di-Pertua, kementerian harus berpijak kepada bumi yang nyata, adakah kementerian sedar bahawa denda RM15,000 bagi seorang peruncit kampung itu sudah cukup untuk membankrapkan perniagaan mereka bagi kesalahan yang hanya bersifat pentadbiran dan langsung tidak menjejaskan keselamatan bekalan makanan negara.
Pasir Salak melihat hukuman ini agak keras. Kementerian sepatutnya menggunakan pendekatan amaran, teguran atau kompaun ringan terlebih dahulu.
Janganlah kita mewujudkan undang-undang bersifat menghukum tanpa memberi ruang tanpa mendidik rakyat. Terima kasih, Puan Yang di-Pertua.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Terima kasih, Yang Berhormat Pasir Salak. Saya jemput Yang Berhormat Seputeh.
Puan Teresa Kok Suh Sim - Seputeh
Terima kasih, Puan Yang di-Pertua.
Semua penduduk di Malaysia kita semua ini makan beras. Jadi sektor penanaman padi adalah sektor yang sangat penting bagi negara kita kerana industri ini adalah sektor keselamatan makanan bagi kita. Pindaan utama dalam rang undang-undang ini adalah untuk beri kuasa kepada Yang Berhormat Menteri dan Ketua Pengarah untuk menguatkuasakan harga maksimum dan minimum bagi beras. Selain itu, denda dan hukuman dilipatgandakan bagi mereka yang menyalahi Akta Kawalan Padi dan Beras.
Di mana denda bagi pesalah individu dinaikkan daripada RM15,000 kepada RM250,000 bagi kesalahan pertama kemudian RM500,000 bagi kesalahan kedua.
Pada waktu yang sama, denda bagi pertubuhan yang menyalahi undang-undang ini ditambah daripada RM25,000 kepada RM500,000 bagi kesalahan pertama dan RM1 juta bagi kesalahan kedua.
Walaupun kementerian memberi alasan peningkatan denda dan hukuman ini adalah untuk mencerminkan keseriusan kesalahan tetapi saya bimbang peningkatan hukuman dan denda ini juga akan buka pintu kepada kompromi dan juga rasuah pada peringkat bawahan bila ia dilaksanakan. Selalunya kita sebagai penggubal undang-undang kita anggap bila kita letak hukuman yang berat dalam rang undang- undang kita, kita akan mencegah kesalahan daripada berlaku tetapi selalunya kita lihat, selalunya ia buka pintu kepada berlakunya rasuah.
Puan Yang di-Pertua, saya tidak faham apakah rasional bagi kerajaan untuk menswastakan Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN) pada tahun 1994?
Nampaknya ini adalah satu-satu lembaga ataupun agensi kerajaan yang diswastakan kepada syarikat swasta. Apakah kementerian mempunyai rancangan ataupun roadmap untuk menyiarkan penswastaan padi ini di bawah BERNAS dan mengambil balik control, kawalan terhadap sektor ini?
Jawatankuasa Wang Kira-kira Wang Negara (PAC) pernah mengadakan prosiding berkenaan perjanjian konsesi pengurusan industri padi dan beras negara.
Dalam satu prosiding berkenaan percampuran beras tempatan dengan beras negara asing, seorang pengilang beras dari Kedah berkata mereka memang dah biasa mencampurkan beras tempatan dan beras negara asing kerana cita rasa penduduk tempatan adalah kita tidak suka makan beras tempatan yang tulen kerana ia kurang sedap. Manakala pelanggan Malaysian, pelanggan tempatan memang suka makan nasi yang mana adanya campuran beras, jenis beras yang berlainan.
Soalan saya ialah— apakah kementerian membenarkan percampuran beras yang berlainan jenis yang kononnya telah pun lama dipraktikkan? Macam mana kementerian menetapkan nisbah percampuran beras yang daripada berlainan jenis ini? Dalam prosiding PAC terdapat pengilang beras yang mengeluarkan pandangan yang berharap kerajaan mengadakan lebih penyelidikan terhadap beras supaya negara kita boleh mengeluarkan benih dan spesies yang berkualiti. Saya menyeru kementerian mengambil berat atas permintaan...
Datuk Willie anak Mongin - Puncak Borneo
Seputeh, boleh saya minta pencelahan?
Puan Teresa Kok Suh Sim - Seputeh
...Untuk mengadakan penyelidikan terhadap pembangunan spesies beras yang lebih berkualiti ini.
Datuk Willie anak Mongin - Puncak Borneo
Seputeh, boleh saya minta pencelahan? Puncak Borneo.
Puan Teresa Kok Suh Sim - Seputeh
Ya, sila.
Datuk Willie anak Mongin - Puncak Borneo
Terima kasih, YB Seputeh.
Saya mendengar tadi mengenai kita bukan sahaja fokus kepada kuasa Menteri untuk harga padi dan beras tetapi dewasa ini kawasan penanam padi kita semakin mengecil kerana banyak-banyak tanah untuk tanam padi ini digunakan untuk tanaman lain.
Dan ada juga segelintir kawasan seperti di Kedah dan Selangor digunakan untuk membuat kawasan rumah pemilik tanah tersebut. Jadi, kawasan padi kita, tanaman padi kita dalam negara semakin mengecil. Adakah YB Seputeh bersetuju untuk kita mengadakan suatu akta di mana kita harus mengekalkan saiz penanaman padi kita kerana kalau kita tidak ada undang-undang ini, tanah penanaman padi kian mengecil saban tahun.
Apa pandangan YB Seputeh?
Puan Teresa Kok Suh Sim - Seputeh
Saya rasa kementerian boleh mengkaji pandangan Yang Berhormat. Sebenarnya kalau kita lihat di negara Singapura, mereka juga tanam padi di dalam bangunan di atas, kita kata roof top ya.
Ini sebenarnya juga boleh berlaku, kalau kita adakan lebih kajian.
Puan Yang di-Pertua, negara kita mempunyai pelbagai jenis beras. Beras bario di Sarawak adalah spesies yang terkenal dan ia disambut baik oleh pasaran luar negara. Jadi, apakah langkah yang diambil oleh kementerian untuk menjalankan lebih penyelidikan dan pembangunan terhadap spesies-spesies beras di negara kita?
Saya difahamkan terdapat syarikat dan penyelidik dari negara China menawarkan kepakaran mereka kepada kita untuk membangunkan penyelidikan terhadap pelbagai jenis beras tempatan. Mereka juga ingin memperkenalkan spesies beras yang mempunyai hasil yang tinggi kepada negara kita. Tetapi, tawaran mereka tidak disambut baik oleh kementerian. Dan syarikat ini diberitahu, setiap spesies baharu yang perlu diadakan penyelidikan R&D ialah lima hingga enam tahun sebelum ia ditanam secara besar-besaran di negara kita.
Memandangkan beras dan padi adalah amat penting dari segi keterjaminan makanan, saya menyeru kementerian memandang serius tentang tawaran yang diberikan oleh syarikat ataupun penyelidik di luar negara dan mempertingkatkan lagi R&D kita terhadap beras di Malaysia. Dan kita haruslah menyambut baik sebarang tawaran sebagai langkah untuk menambahbaikkan industri padi dan beras di Malaysia.
Yang akhirnya ialah saya— kerana Puncak Borneo yang bangun cakap.
Setiap kali saya pergi ke Sarawak, khususnya pergi ke kawasan kampung― saya pergi ke Sabah juga― selalu orang kampung, dia hadiahkan kepada saya ialah beras yang ditanam mereka di kampung. Mereka memang beri hadiah secara ikhlas dan cakap, “Ini adalah beras dari kampung saya”.
Tapi bila saya pergi ke Kedah, Sik― kawan saya Sik― saya pergi ke Perlis, saya pergi ke Kelantan, semua tempat yang ada tanam beras itu, mereka orang tempatan, wakil rakyat sama, tak pernah beri saya beras dan kata, “Oh, ini adalah beras dari tempat saya, dari kawasan saya.” Jadi, saya rasa ini adanya masalah value, penilaian orang kita terhadap beras yang ditanam itu. Saya rasa mungkin yang spesies di Sarawak ini yang ada pelbagai jenis yang ramai orang rasa bangga terhadap spesies mereka, haruslah juga dipentingkan oleh kementerian.
Sekian, terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Terima kasih Yang Berhormat Seputeh.
Ahli-ahli Yang Berhormat, memandangkan masih terdapat lagi Ahli Yang Berhormat yang hendak berbahas pada hari Isnin dan juga Yang Berhormat Menteri akan membuat penggulungan pada Isnin depan, maka saya menjemput Menteri untuk membacakan usul.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan - Datuk Chan Foong Hin
Tuan Yang di-Pertua, “Mengikut Peraturan Mesyuarat 12(1), saya mohon mencadangkan bahawa mesyuarat pada hari ini ditangguhkan sekarang, dan selepas itu Majlis mesyuarat akan ditangguhkan sehingga jam 10 pagi, hari Isnin, 13 Julai 2026.”
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Ada sesiapa yang menyokong?
Timbalan Menteri Luar Negeri - Dato Lukanisman bin Awang Sauni
Saya mohon menyokong.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Ahli-ahli Yang Berhormat, sekarang saya kemukakan masalah kepada Majlis untuk diputuskan.
Masalahnya ialah usul seperti yang dikemukakan tadi hendaklah disetujukan.
[Usul dikemukakan bagi diputuskan; dan disetujukan]
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Ahli-ahli Yang Berhormat, mesyuarat Dewan hari ini ditangguhkan sehingga jam 10 pagi, hari Isnin, 13 Julai 2026.
[Dewan ditangguhkan pada pukul 5.04 petang]