Katalog Hansard
[Tuan Yang di-Pertua **mempengerusikan Mesyuarat****]
Tuan Yang di-Pertua
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Salam bahagia dan selamat pagi. Sebelum kita mulakan Pertanyaan-pertanyaan bagi Jawab Lisan hari ini, sukacita saya maklumkan bahawa program pemeriksaan kesihatan seperti biasa akan diteruskan pada tahun 2026 dengan kerjasama Kementerian Kesihatan.
Program ini telah dilaksanakan secara berterusan sejak tahun 2023 dan kini telah memasuki tahun yang keempat. Pemeriksaan kesihatan ini sangat membantu dalam mengesan sebarang isu berkaitan kesihatan oleh Yang Berhormat di peringkat awal dan seterusnya membolehkan langkah-langkah pencegahan serta proaktif melalui pengubahsuaian gaya hidup, pengambilan ubat-ubatan atau intervensi perubatan awal yang bersesuaian dengan segera.
Saya merakamkan ucapan terima kasih dan syabas kepada semua Ahli Yang Berhormat yang telah menjalani pemeriksaan kesihatan sepanjang pelaksanaan sebelum ini. Saya juga merakamkan penghargaan kepada Kementerian Kesihatan atas sokongan, komitmen dan kerjasama erat yang diberikan dalam menjayakan pelaksanaan program ini. Sebarang pertanyaan mengenai pemeriksaan ini boleh diajukan kepada Datuk Dr. Murugesu a/l Raju, Ketua Klinik Kesihatan Parlimen Malaysia.
Yang Berhormat, sila ambil perhatian dan serius tentang ini. Semalam juga kita mempunyai seorang Ahli Parlimen yang mengalami kesihatan yang serius dan kini beliau berada di IJN. Silakan.
Tuan Yang di-Pertua
Baik, kita mulakan dengan saya menjemput Dato’ Ngeh Koo Ham, Beruas. Silakan.
Dato’ Ngeh Koo Ham
Terima kasih Tan Sri Yang di-Pertua.
Sungguh bertuah mendapat nombor satu, Soalan saya nombor satu.
1. Dato' Ngeh Koo Ham [Beruas] minta Menteri Dalam Negeri menyatakan beberapa kes melombong mata wang kripto bitcoin secara haram di Daerah Manjung, Perak untuk setiap tahun dari 2022 hingga 2026. Berapa pengusaha- pengusaha perlombongan haram ini serta anggota polis, pekerja TNB dan pekerja Majlis Perbandaran Manjung yang bersubahat dengan mereka yang telah ditangkap.
Tuan Yang di-Pertua
Terima kasih. Jarang-jarang berlaku, silakan.
Timbalan Menteri Dalam Negeri - Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar bin Haji Nasarah
Terima kasih Tan Sri Yang di-Pertua, Yang Berhormat Beruas.
Mata wang kripto di Malaysia adalah sah untuk dimiliki dan didagangkan.
Namun, tidak diiktiraf sebagai mata wang yang sah legal tender. Sebaliknya, ia diklasifikasi sebagai aset digital dan dikawal selia oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia di bawah The Capital Markets and Services, (Digital Currency and Digital Token) Order 2019 serta garis panduan berkaitan aset digital yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Sekuriti.
Dan negara Malaysia pula memantau aspek kestabilan kewangan, sistem pembayaran serta pematuhan terhadap keperluan anti money laundering. Kesalahan jenayah yang dimaksudkan adalah aktiviti perlombongan mata wang kripto itu sendiri Yang Berhormat, yang dijalankan secara haram. Haram yang dimaksudkan adalah kerana penyambungan bekalan elektrik secara tidak sah, pengubahsuaian meter atau pencerobohan sistem bekalan elektrik sehingga mengakibatkan kerugian kepada pemegang lesen bekalan elektrik serta penggunaan lokasi perlombongan yang tidak mendapat lesen.
Ini adalah kerana kos perlombongan mata wang kripto terlalu tinggi Yang Berhormat dan menyebabkan kerugian kepada pihak berkepentingan. Dalam keadaan sedemikian Yang Berhormat, PDRM akan menjalankan siasatan terhadap kesalahan di bawah seksyen 427, Kanun Keseksaan Akta 574 berkaitan khianat serta mana-mana peruntukan lain yang berkaitan berdasarkan fakta kes. Bagi kesalahan yang melibatkan kecurian bekalan elektrik, tindakan akan diambil di bawah seksyen 37, Akta Bekalan Elektrik 1990 [Akta 447] oleh agensi yang mempunyai bidang kuasa dengan kerjasama erat PDRM.
Aktiviti perlombongan mata wang kripto bukan sahaja melibatkan perlanggaran undang-undang digital, malah kegiatan pencurian bekalan elektrik melalui manipulasi meter elektrik secara besar-besaran dan berleluasa telah mengakibatkan kerugian hasil negara dan gangguan bekalan elektrik kepada komuniti setempat.
PDRM akan sentiasa bekerjasama dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam menjalankan penguatkuasaan ke atas kes-kes kecurian elektrik, terutama yang melibatkan perlombongan kripto atau Bitcoin mining.
Merujuk kepada aktiviti melombong mata wang kripto, bitcoin di Daerah Manjung, kawasan Yang Berhormat— daripada tahun 2022 hingga 2025 Yang Berhormat, PDRM bersama dengan TNB telah menjalankan 347 serbuan dengan tangkapan seramai 93 orang dan rampasan sebanyak 6,913 buah mesin.
Pihak PDRM membuat siasatan mengikut Akta Bekalan Elektrik 1990, manakala TNB pula mengambil tindakan akibat kehilangan hasil akibat kecurian bekalan elektrik. Berhubung dengan dakwaan terdapat anggota polis, pekerja TNB dan Majlis Daerah Manjung yang bersubahat, hasil siasatan Yang Berhormat yang dijalankan setakat ini tiada pihak yang terlibat. Terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua
Baik, saya jemput Beruas.
Dato' Ngeh Koo Ham - Beruas
Terima kasih Tan Sri Yang di-Pertua.
Saya— itulah masalah tak ada penangkapan langsung. Saya hendak tanya pihak kementerian, kenapa pengusaha mata wang kripto haram ini begitu berani menyambung semula aktiviti mereka sebaik sahaja penguatkuasaan dijalankan.
Adakah kerajaan bercadang untuk menggubal undang-undang yang lebih ketat untuk mengawal selia aktiviti perlombongan mata wang kripto, memandangkan hampir kesemua perlombongan mata wang kripto di Malaysia dijalankan secara haram dengan mencuri bekalan elektrik TNB.
Tuan Yang di-Pertua
Baik, Menteri.
Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar bin Haji Nasarah
Terima kasih Yang Berhormat Beruas. Kegiatan mata wang kripto seacara haram terus berlaku kerana permintaan terhadap mata wang kripto masih tinggi dan nilainya sentiasa berubah- ubah. Ini menjadikan aktiviti ini berpotensi Yang Berhormat, memberi pulangan lumayan kepada sindiket. Walau bagaimanapun, faktor tersebut tidak boleh dijadikan alasan untuk menjalankan aktiviti yang menyalahi undang-undang, termasuk melakukan penyabungan bekalan elektrik secara haram.
Dari sudut penguatkuasaan, PDRM akan terus menjalankan siasatan terhadap kesalahan di bawah bidang kuasanya, termasuk kesalahan khianat dan kesalahan-kesalahan lain yang berkaitan mengikut undang-undang yang berkuat kuasa. Bagi kes yang melibatkan kecurian bekalan elektrik Yang Berhormat, siasatan dan tindakan turut dilaksanakan di bawah Akta Bekalan Elektrik 1990 [Akta 447] oleh agensi yang mempunyai bidang kuasa berkenaan melalui kerjasama erat bersama PDRM.
Berhubung cadangan menggubal atau memperketat undang-undang berkaitan Akta Bekalan Elektrik adalah di bawah bidang kuasa Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) yang bertanggungjawab ke atas sektor tenaga. Namun Yang Berhormat, KDN, kita sentiasa terbuka untuk memberikan pandangan dan kerjasama dalam sebarang usaha untuk menambah baik perundangan dan mekanisme penguatkuasaan.
Ini semua bagi memastikan tindakan terhadap kegiatan penggunaan mata wang kripto secara haram dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan dan pendekatan bersepadu antara kementerian dan agensi berkaitan adalah penting. Ini semua untuk memastikan bitcoin haram dapat kita bendung dan dikawal dengan lebih menyeluruh Yang Berhormat, terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua
Rantau Panjang, silakan.
Dato’ Hajah Siti Zailah binti Mohd Yusoff - Rantau Panjang
Ya, terima kasih. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih Tan Sri. Soalan tambahan saya, saya ingin tahu, sejauh manakah anggaran kerugian yang telah ditanggung oleh TNB setakat ini akibat kes kecurian ini dan apakah usaha untuk memastikan supaya dapat mengesan aktiviti haram ini?
Sejauh mana penggunaan— contohnya teknologi smart meter digital dapat berkesan dan kenapa tidak ada kes pendakwaan yang telah diambil tindakan setakat ini dan apakah pemantauan juga dibuat, terutama di sempadan untuk memastikan perkakasan elektrik yang berkuasa tinggi ini tidak diseludup secara haram untuk aktiviti perlombongan ini? Minta penjelasan.
Tuan Yang di-Pertua
Sila Menteri.
Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar bin Haji Nasarah
Yang Berhormat Rantau Panjang, KDN melalui PDRM, kita sentiasa perkukuhkan strategi penguatkuasaan dengan memberi penekanan kepada aspek pencegahan dan pengesanan awal dan tentunya kerjasama strategik dengan pelbagai agensi. Dan kita akan terus meningkatkan keupayaan risikan juga teknologi serta sentiasa mengenal pasti lokasi-lokasi risiko yang disyaki menjalankan aktiviti perlombongan mata wang kripto secara haram ini Yang Berhormat, sebelum operasi penguatkuasaan dibuat.
Kerjasama strategik dengan TNB, Suruhanjaya Tenaga, pihak berkuasa tempatan dan penguat kuasa lain juga kita sentiasa pertingkatkan, terutama sekali dari segi perkongsian maklumat, pelaksanaan operasi dan penyelarasan tindakan penguatkuasaan. Ini semua penting bagi kita pastikan tindakan kita lebih pantas dan tepat.
Yang Berhormat, kalau saya boleh kongsi dari segi maklumat, daripada tahun 2022 sehingga Januari, sehingga Mei 2026, data daripada 2022 sehingga Mei 2026.
Kita telah lakukan serbuan kepada 3,049 tempat. Daripada jumlah tersebut, 629 tangkapan telah dibuat dan rampasan mesin. Kita dapati rampasan telah dibuat sebanyak 75,578 mesin dirampas. Ini menunjukkan kita memang mengambil tindakan. Cuma aspek pendakwaan tadi saya bagi jawapan secara bertulis. Saya tak ada data di sini Yang Berhormat. Terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua
Baik, saya jemput seterusnya Tuan Wan Razali bin Wan Nor, Kuantan.
Tuan Wan Razali bin Wan Nor - Kuantan
Terima kasih Tan Sri Dato’ Yang di-Pertua. Soalan saya soalan nombor 2.
2. Tuan Wan Razali bin Wan Nor [Kuantan] minta Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya menyatakan apakah usaha pihak kementerian dalam membantu pengusaha industri batik di Parlimen Kuantan termasuk bantuan kewangan bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran, daya saing dan pemasaran produk batik tempatan.
Tuan Yang di-Pertua
Silakan Menteri.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya - Dato Sri Tiong King Sing
Terima kasih Tan Sri Yang di-Pertua, terima kasih Yang Berhormat Kuantan. Tuan Yang di-Pertua, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya melalui Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia ataupun Kraftangan sentiasa menyokong pembangunan pengusahaan kraf tangan di seluruh negara, termasuklah pengusaha batik melalui Program Pembangunan Usahawan, meningkatkan kemahiran pembangunan produk serta promosi dan pemasaran.
Mengenai isu— kita sudah bagi fasiliti-fasiliti membantu kraf tangan kepada usahawan, Program Pembangunan Komuniti Kraf, reka bentuk produk, means produk baru ikut trend pasaran baru dan juga pemasaran. Kita pun bantu dalam online marketing, MyCraftShoppe, E-Kraf Bazar dan CraftOnTheGo. Promosi fizikal, Festival Kraf Tangan Pantai Timur, Kelantan, Terengganu dan Pahang. Dalam— mengenai kewangan memang kementerian kita tidak ada kewangan untuk membantu usahawan tetapi melalui Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi ini sudah bersedia, kementerian sudah sedia RM10 juta diperuntukkan untuk usahawan kraf.
Faedah dia empat peratus, size dia boleh bincang sehingga sampai RM100,000. Tempoh dia boleh bayaran balik sampai 10 tahun. Tadi, ini di bawah agensi TEKUN Nasional. Tadi dia— ini peminjaman dapat ini RM100,000 dia orang boleh beli peralatan ataupun mesin-mesin untuk itu buat batik. Pada masa yang sama, MOTAC dan Kraftangan terus memperkukuh kerjasama strategik dan serta swasta untuk menaik taraf pusat-pusat kraf tangan menjadi hab yang lebih moden, interaktif dan berdaya saing.
Pendekatan ini bertujuan meningkatkan nilai komersial, produk kraf tangan tempatan termasuklah batik. Memperluas aset pasaran serta membuka lebih banyak peluang eksport agar produk kraf tangan Malaysia mampu menembusi pasaran antarabangsa, sekian terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua
Baik, saya jemput Kuantan.
Tuan Wan Razali bin Wan Nor - Kuantan
Terima kasih Tan Sri Yang di- Pertua. Jadi, di Kuantan ini terdapat banyak, beberapa pengusaha batik dalam Parlimen Kuantan. Pertamanya, Batik RM di Medan Warisan, yang keduanya Batik Adina di Tanjung Lumpur dan seterusnya di Kampung Cherok Paloh ada dua industri Batik, Batik Cherok Wardina dan Nihaka Santuari Batik. Jadi, batik Pahang ini dia ada keunikan tersendiri dan banyak dipengaruhi oleh flora dan fauna. Namun batik Pahang ini masih kurang dipromosikan bagi menembusi pasaran tempatan dan juga luar negara.
Jadi pertanyaan saya, soalan saya yang pertamanya, apakah strategi khusus kementerian dalam menjalinkan kerjasama dengan Kerajaan Negeri Pahang itu sendiri untuk memperkukuh penjenamaan batik Pahang sebagai satu identiti negeri dan negara, termasuk perluaskan pemasaran melalui platform digital, e-dagang, promosi dalam pelancongan serta mewujudkan naratif dan reka bentuk yang mempunyai ciri-ciri unik negeri Pahang itu sendiri dan juga apakah perancangan kementerian untuk lebih ramai lagi anak-anak muda menceburi industri batik termasuk melalui kerjasama dengan industri pendidikan teknikal dan vokasional TVET agar kemahiran batik ini dapat dipelihara, diperkasakan dan terus berkembang sebagai industri kreatif yang berdaya saing. Terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua
Baik, sila Menteri.
Dato Sri Tiong King Sing
Terima kasih Yang Berhormat Kuantan.
Memanglah atas ini, kraf punya isu ini, kita Kerajaan Persekutuan bersama kerajaan negeri mesti mahu bekerjasama. Kita— paling mustahak bila kita, masa sampai promosi di luar negara, sila lah minta. Negeri pun mahu bekerjasama, sama-sama kita pergi luar negara, kita pergi promosi bersama-sama, barulah kita bolehlah lebih lagi ramai di luar negara boleh tahu semua produk-produk daripada Kuantan ataupun daripada Pahang, apa yang ada sana.
Dato Sri Tiong King Sing
Mengenai itu kraf tangan, Malaysia pun membantu usahawan dan komuniti kraf memasarkan produk batik melalui saluran fizikal dan digital. Dan inisiatif utama ialah penganjuran festival kraf, promosi di pusat beli belah dan juga luar negara.
Saya minta Yang Berhormat Kuantan, kalau boleh kita nanti boleh duduk bincang macam mana kita boleh sama-sama bekerjasama menaiktarafkan produk-produk daripada Pahang itu.
Tuan Wan Razali bin Wan Nor - Kuantan
[Bangun]
Tuan Yang di-Pertua
Okey, bawa Kuantan Bersama ya. Bawa ke luar negara.
Tuan Wan Razali bin Wan Nor - Kuantan
Terima kasih, kena bawa ke luar negara sekali.
Tuan Yang di-Pertua
Baik, saya jemput Sri Gading.
Dato Sri Tiong King Sing
Itu boleh cerita punya.
[Dewan ketawa]
Tuan Haji Aminolhuda bin Hassan - Sri Gading
Terima kasih Tan Sri Speaker. Soalan daripada Sri Gading berkaitan dengan batik serat nanas. Di mana kita sedia maklum bahawa Malaysia ini antara pengeluar utama di Asia Tenggara tentang nanas. Dan nanas ini boleh menghasilkan kain apabila serat nanas ini dibuat benang. Di mana kalau kita lihat di negara kita, pengeluaran nanas untuk eksport ada 530,000 metrik tan.
Jadi, maknanya di sini kalau kita lihat bahawa batik nanas ini juga adalah satu batik yang hampir menyamai sutera. Dia ada kilauan yang tersendiri. Dia boleh buat baju dan sebagainya.
Persoalan daripada Sri Gading, apakah bantuan kementerian dalam usaha promosi untuk batik nanas ini boleh diperkenalkan di peringkat antarabangsa kerana dia merupakan mesra alam dan tahan dan nilai kualitinya tinggi dengan pasaran yang baik kepada negara. Terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua
Sila Menteri.
Dato Sri Tiong King Sing
Terima kasih. Ini saudara ini memang hebat ini, Yang Berhormat. Mengenai itu nanas, itu bukan nanas sahaja itu buat boleh kain dan lain-lain juga. Itu lah tadi saya soalkan ini, kita nak menjemput itu sektor swasta mari bersama-sama berkongsi dan juga kita berbincang macam mana boleh membantu menaik taraf pusat-pusat kraf tangan menjadi satu hab yang lebih moden, yang lebih interaktif dan berdaya saing untuk batik ini. Nanti Yang berhormat kita bekerjasama okey. Sekian.
Tuan Yang di-Pertua
Baik. Seterusnya saya jemput Datuk Larry Soon Wei Shien, Julau.
Datuk Larry Soon @ Larry Sng Wei Shien - Julau
Terima kasih, selamat pagi Tan Sri Yang di-Pertua. Soalan saya nombor 3.
3. Datuk Larry Soon @ Larry Sng Wei Shien [Julau] minta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri menyatakan sama ada kerajaan telah menjalankan penilaian impak berhubung keputusan dasar terkini yang menyebabkan kenaikan harga kenderaan elektrik (EV) yang dipasang di luar negara khususnya terhadap kemampuan pengguna, sasaran penggunaan EV, keyakinan pelabur serta daya saing Malaysia sebagai hab EV serantau.
Tuan Yang di-Pertua
Sila Menteri.
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri - Tuan Sim Tze Tzin
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Untuk menjawab rakan saya YB Julau. YB Julau tanya soalan yang sangat bagus. Dia ada tiga parts. Nombor satu adalah kemampuan penggunaan tentang kenderaan EV. Kedua adalah sasaran penggunaan EV dan keyakinan pelabur serta daya saing Malaysia sebagai hab EV serantau.
Tuan Yang di-Pertua, matlamat utama Dasar Automotif Nasional adalah untuk membangunkan industri automotif tempatan secara teratur dan berstruktur dengan mengambil kira pembangunan ekosistem melalui pemindahan teknologi, pembangunan vendor tempatan, penjanaan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi serta pengukuhan kepakaran industri bagi tujuan eksport.
Tan Sri Yang di-Pertua, dalam segmen EV ini, kita ada dua kategori. Satu adalah CBU, kenderaan yang siap dipasang di luar negara datang sebiji ke Malaysia jual di tempatan. Kita tidak ada manufacturing dan sebagainya, itu adalah CBU takrifan dia. Kedua, adalah local assembly. Local assembly adalah dipasang dalam pasangan tempatan, kenderaan pasang tempatan dalam negara. Jadi, dia ada ekosistem, ada pekerjaan kepada tempatan dan sebagainya. Itu kita panggil local assembly. Local assembly itu dia ada CKD dan juga local car manufacturing seperti PROTON dan PERODUA.
Kita— kerajaan membenarkan pengimportan kenderaan CBU, no problem.
Iaitu pengimportan kenderaan yang siap dipasang adalah dibenarkan dengan tujuan melengkapkan penawaran pasaran tempatan tanpa menjejaskan pembangunan industri automotif nasional. Bagi meningkatkan jumlah serta permintaan terhadap kenderaan elektrik EV, kerajaan telah memperkenalkan insentif cukai dari tahun 2022 sehingga 31 Disember 2025 untuk EV CBU yang diimport.
Dalam tempoh ini kerajaan turut melonggarkan syarat pengimportan dengan membenarkan EV CBU diimport masuk ke dalam negara tanpa had kuasa motor dan dijual pada harga on the road price (OTR) melebihi RM100,000 di pasaran tempatan.
Langkah sementara ini telah berjaya merangsangkan pasaran awal dan mempercepatkan penerimaan EV dalam negara.
Setelah insentif cukai tersebut tamat, kerajaan telah menyemak semula mekanisme pengimportan EV CBU dengan menetapkan syarat-syarat seperti berikut nilai cost, insurance and freight (CIF), minimum RM200,000. Kedua, kuasa motor minimum 180 kilowatt.
Langkah ini tidak bertujuan untuk menaikkan harga lantai kenderaan EV CBU, sebaliknya merupakan langkah rasionalisasi dan peralihan strategik bagi dasar pengimportan CBU bukan nasional yang mengambil kira beberapa elemen.
Saya terangkan di sini Tan Sri, kita ini ada strategi kita untuk EV adoption dan pembangunan ekosistem EV kita. Strategi pertama fasa pertama adalah adoption face 2022 sehingga 31 Disember 2025. Kerana kita tidak pernah–– kerana ini EV baru segmen yang baru, jadi kita bagi orang adopt, bagi dia import free sahaja cukai, tanpa cukai, CBU dan sebagainya supaya orang boleh rasa apa itu EV dengan harapan ada build in the ecosystem.
Fasa kedua, apabila ada orang sudah masuk, rakyat Malaysia sudah enjoy EV, mereka suka, maka kita masuk ke fasa kedua iaitu kita menggalakkan pemasangan tempatan supaya kita boleh build up industrial base supaya negara kita boleh mendapat manfaat dari segi industrial base, bukan sekadar menjadi pembeli sahaja. Not just market but the industrial base. Dan fasa ketiga adalah kita menggalakkan lokalisasi, localization supaya vendor-vendor tempatan pun boleh mendapat manfaat daripada sektor EV ini.
Jadi, we have the very clear strategy, ini bukan— bukan, kita mempunyai sasaran dan clear strategy, sasaran kita adalah 20 peratus EV adoption, XEV ya, dia macam-macam EV lah. BEV ke, BHGV ke dan lain-lain. 20 percent by 2030 dan lepas itu 50 peratus by 2040 dan 80 peratus by 2050. Jadi, kita ada sasaran dia.
Dan untuk jawab segmen yang terakhir, adakah ia memberi keyakinan pelabur serta daya saing Malaysia sebagai hab EV serantau? Jawapannya macam ini. Kita tahu bahawa untuk mendapatkan keyakinan pelabur, kita kena ada polisi yang jelas, segmen yang jelas.
Dan sebenarnya pelabur, mereka lebih suka kalau kita ada policy yang jelas sebab dia ada protection dia, dia datang dia tengok policy ini jelas dengan certain protection. Bukan protection tetapi insentif dan juga kita punya clear policy, maka mereka yakin untuk masuk ke Malaysia dengan dia labur dengan keyakinan kerana dia tahu ROI dia, dia kira. Tetapi kalau kita tak ada strategi dan policy yang jelas, maka dia kena menjejas. Itu sebab yang penting adalah jelas dasar dan juga policy.
Terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua
Baik, saya jemput Julau.
Datuk Larry Soon @ Larry Sng Wei Shien - Julau
Terima kasih Yang berhormat Timbalan Menteri. Persoalan saya bagi syarat minima RM200,000 CIF dan kuasa minimum 180 kilowatt bagi kenderaan EV CBU.
Datuk Larry Soon @ Larry Sng Wei Shien - Julau
Mengapa syarat ini hanya dikenakan kepada EV? Adakah kerajaan berpendapat bahawa amalan pengisytiharan nilai yang lebih rendah tidak berlaku bagi kenderaan ICE? Adakah kerajaan beranggapan bahawa kenderaan ICCKD tidak memerlukan perlindungan? Sebagai contoh, terdapat kenderaan ICCBU berkapasiti kecil dan dijual pada harga yang sangat kompetitif seperti MAZDA 3 – 1.5 liter pada harga RM119,000 dan Suzuki Jimny 1.5 liter pada harga RM158,000.
Bukankah kenderaan-kenderaan ini juga bersaing secara langsung dengan kenderaan CDKD? Terima kasih.
Tuan yang di-Pertua
Baik, Menteri.
Tuan Sim Tze Tzin
Terima kasih Tan Sri, terima kasih Julau. Pendekatan bagi ICE dan EV adalah berbeza kerana kedua-duanya berada pada tahap industri pembangunan yang berbeza. Bagi ICE, dia sudah lama. Dasar kemasukan CBU telah lama diwujudkan berdasarkan kapasiti enjin iaitu hanya kenderaan ICE dengan kapasiti enjin 1800cc ke atas sahaja boleh diimport masuk ke dalam negara.
Bagi EV pula, kerajaan perlu mengimbangi dua objektif secara serentak iaitu mempercepatkan penggunaan EV iaitu EV Adoption dalam kalangan rakyat serta membangunkan industri pemasangan tempatan.
Rantaian bekalan dan ekosistem EV supaya Malaysia tidak sekadar menjadi pasaran pengguna sahaja. Selain itu struktur cukai bagi EV adalah berbeza dengan kenderaan enjin pembakaran dalaman, ICE – internal combustion engine itu berbeza, dia punya struktur, insentif, struktur cukai dan sebagainya berbeza.
Pada masa ini, kadar cukai eksais bagi EV hanya 10 peratus sahaja, very low. Manakala bagi kenderaan ICE kadar cukai eksais adalah jauh lebih tinggi bergantung kepada kapasiti enjin kenderaan dan syarat-syarat localization, jadi dia ada banyak strukturnya. Eksais duty. Jadi— kalau mereka buat banyak localization, mereka boleh dapat insentif daripada kerajaan dan sebagainya.
Dengan kadar duti eksais lebih rendah, penentuan nilai import bagi EV menjadi lebih kritikal bagi memastikan asas pengenaan cukai adalah tepat dan mengurangkan risiko pengisytiharan nilai import yang lebih rendah daripada nilai sebenar, under declaration.
Oleh itu penetapan nilai minimum CIF merupakan salah satu mekanisme dasar untuk mengurangkan ruang berlakunya under declaration dan memastikan kutipan hasil kerajaan dilindungi. Terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua
Ya, silakan Kubang Pasu.
Dato’ Wira Dr. Ku Abd Rahman bin Ku Ismail - Kubang Pasu
Terima kasih Tan Sri yang di-Pertua. Ini mengenai soalan nombor 3, Saya. Berkait rapat dengan EV negara. Negara berhadapan dengan kekurangan charging points dan ini sudah semestinya akan memberikan kesan kepada kemajuan EV bagi negara kita.
Berdasarkan kepada jumlah EV di atas jalan raya sekarang, lebih kurang 80,000 kereta, iaitu pada tahun 2025 kita sepatutnya mempunyai 10,000 unit charging points pada akhir tahun 2025. Namun kita hanya mempunyai 5,389 unit sahaja charging points. Pihak kerajaan seharusnya perlu melipatgandakan usaha untuk menambah bilangan EV yang perlu melibatkan jabatan-jabatan yang berkenaan seperti JKR.
Saya pasti JKR pun telah mengambil langkah. Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan melibatkan perumahan apartmen, car park dan sebagainya. TNB bagi membantu meningkatkan charging point di seluruh negara bukan sahaja di bandar-bandar besar seperti Lembah Klang, Kuala Lumpur, Petaling Jaya tetapi juga pekan-pekan kecil umpamanya, macam Sungai Petani, Alor Setar. Kawan saya dia sangkut di Sungai petani dari Penang, dia kena tinggalkan kereta dia EV BMW dia, ambil Grab balik ke Pulau Pinang sebab dia tidak dapat charging point di Sungai Petani.
Dan pengeluar EV harus juga memainkan peranan membina charging points sebab mereka yang mengeluarkan kereta. Di Amerika Syarikat, bukanlah saya pergi kerap— nanti orang ingat saya pergi kerap. Saya pergi baru-baru ini, TESLA umpamanya merata tempat ada charging point yang dibina oleh TESLA.
Soalan saya Tan Sri Yang di-Pertua ialah apakah langkah proaktif kerajaan bagi menangani isu ini selaras dengan sasaran kita iaitu nett zero pelepasan gas rumah hijau negara pada Tahun 2020. Terima kasih Tan Sri Yang di-Pertua, terima kasih sahabat saya Timbalan Menteri.
Tuan Yang di-Pertua
Silakan Menteri.
Tuan Sim Tze Tzin
Terima kasih sahabat saya daripada Kubang Pasu. Dan Tan Sri Yang di-Pertua, sebenarnya kerajaan sedar tentang apa yang dihadapi oleh kekurangan charging point dan sebagainya. Saya penuh kesian kepada rakan Kubang Pasu yang terpaksa naik Grab.
Itu sebab kita sekarang adalah–– sasaran kerajaan adalah 30,000 charging point by 2030 tetapi masih jauh lagi dia punya perbezaan. Saya nak bagi tahu bahawa Tan Sri, EV ini adalah benda yang baru, satu produk yang baru, jadi semua kerajaan tengah adjust policy dan insentif dan juga usaha untuk kita untuk memperbanyakkan charging point.
Apa yang kerajaan buat sekarang adalah kita bekerjasama dengan pemegang taruh (stakeholders), terutamanya TNB untuk sediakan substation. Dia charging point ini kita hendak kena ada substation untuk memberi kuasa yang mencukupi untuk KC dia, dia punya power yang kuasa yang mencukupi untuk ini.
Jadi kita kena bina banyak substation.
Selepas itu kita tengah dalam perbincangan untuk memberi insentif kepada CPO (charging point operators), untuk mereka bina charging point. Kalau tidak ada substation, tidak ada orang boleh buat charging point kerana kuasa tidak cukup. Jadi, benda ini dia perlu ada insentif. Dia perlu ada polisi dan kita perlu create the ecosystem. Jadi, benda ini dia mengambil masa tetapi kerajaan take note tentang cadangan Kubang Pasu dan kita akan usaha dengan lebih baik. Terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua
Baik, seterusnya saya jemput Puan Salamiah binti Mohd Nor, Temerloh.
Puan Hajah Salamiah binti Mohd Nor - Temerloh
Okey. Terima kasih Speaker.
Kanak-kanak berlari-lari, Sambil berlari melompat-lompat; Harap sangat kepada Menteri, Menjawab soalan empat. Terima kasih.
4. Puan Hajah Salamiah binti Mohd Nor [Temerloh] minta Menteri Kesihatan menyatakan sejauh manakah keberkesanan inisiatif digitalisasi sistem kesihatan awam seperti MySejahtera dan rekod kesihatan elektronik dalam mengurangkan kesesakan di hospital kerajaan.
Tuan Yang di-Pertua
Silakan Menteri.
Timbalan Menteri Kesihatan - Dato Hajjah Hanifah Hajar Taib
Assalamualaikum warahmatullah wabarakatuh dan salam sejahtera.
Tan Sri yang di-Pertua, pelaksanaan electronic medical record (EMR), melalui cloud-based clinic management systems (CCMS), di klinik kesihatan dental information system (DIS), di klinik pergigian dan total hospital information system
(THIS), di hospital berasaskan pengkomputeran awam yang terbukti berkesan meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan di fasilitet kesihatan.
Ia nya menjadi solusi menyeluruh kepada cabaran yang dihadapi oleh rakyat, terutamanya isu tempoh menunggu yang lama dan kesesakan di fasilitet kerajaan, memberikan warga kesihatan maklumat dengan segera dan memudahkan pemberian janji temu yang berikutnya, jika perlu.
Pelaksanaan CCMS di klinik kesihatan telah terbukti memberi impak terhadap pengurangan masa menunggu pesakit. Sebelum pelaksanaan CCMS, tempoh menunggu pesakit untuk berjumpa pegawai perubatan di sesetengah klinik boleh mencecah sehingga tiga jam bagi seorang pesakit bergantung pada jumlah kehadiran pesakit dan beban kerja klinik.
Selepas pelaksanaan CCMS, trend masa menunggu menunjukkan penambahbaikan yang konsisten. Data pemantauan terkini menunjukkan 81 pesakit dapat berjumpa pegawai perubatan dalam tempoh 60 minit, manakala baki 19 peratus pesakit menerima rawatan dalam tempoh 60 hingga 90 minit bergantung kepada tahap kes dan beban kerja klinik.
Dapatan ini menunjukkan bahawa pendigitalan proses kerja melalui CCMS telah membantu mempercepatkan aliran perkhidmatan, mengurangkan kesesakan serta meningkatkan pengalaman pesakit di klinik kesihatan.
Timbalan Menteri Kesihatan - Dato Hajjah Hanifah Hajar Taib
Untuk maklumat Yang Berhormat, aplikasi MySejahtera telah pun memberikan akses kepada orang awam yang ingin tempah temu janji kepada 18 jenis perkhidmatan kesihatan di klinik kesihatan dan klinik pergigian. Sehingga kini, 29 juta transaksi temu janji telah dicapai. Perkhidmatan ini akan diperluaskan ke klinik pakar hospital dalam masa terdekat. Selain daripada perkhidmatan temu janji pesakit luar, temu janji untuk perkhidmatan-perkhidmatan lain dan program-program kesihatan juga dapat dilaksanakan seperti vaksin bakal haji dan prosedur.
KKM sedang mengintegrasikan sistem CCMS dengan aplikasi MySejahtera.
Sehingga kini, aplikasi ini telah berjaya mengintegrasikan rekod kesihatan jutaan rakyat Malaysia merangkumi 30 juta individu dengan rekod vaksinasi, 12 juta individu dengan rekod preskripsi ubat, 5 juta individu dengan rekod pergigian, 5 juta individu dengan rekod saringan kesihatan serta 1 juta individu dengan ringkasan lawatan klinik.
Inisiatif ini memudahkan akses kepada rekod kesihatan, mempercepatkan proses rawatan serta meningkatkan kesinambungan penjagaan pesakit antara fasiliti kesihatan. Secara tidak langsung, inisiatif ini turut menyumbang kepada pengurangan kesesakan di klinik dan fasiliti kesihatan.
KKM akan meneruskan agenda pendigitalan kesihatan bagi tujuan tersebut dengan menggantikan sistem sedia ada dengan sistem THIS. Kerja berfasa dengan 20 hospital akan dilaksanakan dalam 12 bulan akan datang. Ini termasuk maklumat makmal, pengimejan, tabung darah dan farmasi.
Sekian, terima kasih, Tan Sri Yang di-Pertua dan Yang Berhormat Temerloh.
Tuan Yang di-Pertua
Baik. Saya jemput Temerloh.
Puan Hajah Salamiah binti Mohd Nor - Temerloh
Terima kasih Speaker.
Saya mendengar tadi banyak kelebihan yang boleh dimanfaatkan daripada MySejahtera. Tapi, saya juga ingin mengetahui, apakah kelemahan utama sistem MySejahtera dan rekod kesihatan digital yang dikenal pasti oleh KKM sehingga kini, khususnya dari segi integrasi data, pemboleh gunaan serta risiko kebocoran data?
Berapakah bajet ataupun peruntukan yang digunakan untuk menaik taraf infrastruktur ini kepada infrastruktur digital hospital kerajaan? Bagaimana kementerian memastikan pelaburan tersebut memberi impak langsung kepada pengurangan kesesakan di hospital? Terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua
Silakan, Menteri.
Dato’ Mohd Isam bin Mohd Isa - Tampin
[Bangun]
Datuk Ir. Shahelmey bin Yahya - Putatan
[Bangun]
Dato Dr. Richard Rapu @ Aman anak Begri - Betong
[Bangun]
Dato’ Haji Adnan bin Haji Abu Hassan - Kuala Pilah
[Bangun]
Dato Hajjah Hanifah Hajar Taib
Tan Sri Yang di-Pertua, mohon maaf kepada Yang Berhormat Temerloh. Saya tidak mempunyai maklumat tentang bajet yang digunakan. Tetapi, saya telah dimaklumkan bahawa cara pengiraan itu adalah mengikuti dari segi bilangan dan saiz klinik tersebut.
Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie bin Apdal - Semporna
[Bangun]
Dato Hajjah Hanifah Hajar Taib
Alhamdulillah. Oleh kerana dari segi teknologi yang telah didedahkan semakin dimampukan harga, jadi kita rasa bahawa alhamdulillah, ia akan berbaloi dan mempertingkatkan lagi dari segi indirect savings dengan mengurangkan waktu yang telah digunakan dahulu oleh pesakit-pesakit yang datang. Oleh kerana daripada dulu, misalannya, mungkin mereka merasa bahawa mengambilkan satu hari untuk bercuti kerja dan kini, insya-Allah, dengan pembaikan dari segi sistem, ia dapat kurangkan untuk beberapa jam saja untuk keluar daripada kerja.
Insya-Allah, yang lain akan saya jawab kan secara bertulis. Terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua
Saya jemput Betong.
Dato Dr. Richard Rapu @ Aman anak Begri - Betong
Terima kasih Tan Sri Yang di-Pertua. Tan Sri Yang di-Pertua, kejayaan transformasi digital kesihatan amat bergantung pada pelaksanaan yang menyeluruh dan saksama di seluruh negara. Jadi, bagi negeri yang mempunyai keluasan geografi yang besar seperti Sabah, Sarawak, cabaran dari segi capaian Internet, infrastruktur digital dan jarak antara fasiliti kesihatan perlu diberi perhatian khusus agar rakyat tidak tercicir daripada manfaat pendigitalan.
Jadi, Tan Sri Yang di-Pertua, soalan tambahan saya. Apakah status terkini pelaksanaan inisiatif digitalisasi sistem kesihatan di Sarawak termasuk penggunaan Rekod Kesihatan Elektronik (EHR) dan juga integrasi MySejahtera di hospital serta klinik kerajaan?
Sekian, terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua
Baik. Menteri.
Dato Hajjah Hanifah Hajar Taib
Tan Sri Yang di-Pertua, dari segi sistem- sistem ini, kita mengambilkan waktu untuk menaik tarafkan kegunaan ini, oleh sebab antaranya kekangannya adalah untuk memastikan segala maklumat bagi pesakit itu disertakan.
Jadi, misalannya, jikalau seorang pesakit pernah mendapatkan rawatan dari segi non-communicable disease seperti diabetic, dia mempunyai rekod-rekod sebelumnya. Dan selain daripada rekod pertemuan doktor, komen-komen doktor adalah dari segi memastikan rekod yang mengesahkan dari segi pengambilan darah dia menunjukkan bahawa dia menghidapkan penyakit non-communicable disease seperti diabetic itu tersenarai di dalam rekod itu sekali. Jadi, ia mengambilkan waktu.
Sehingga kini, di Sarawak, bilangan klinik premier yang telah menggunakan klinik dari segi sistem CCMS adalah sebanyak 174. Target untuk kita capaikan dalam 2028 keseluruhan adalah 2,917. Bagi klinik pergigian pula adalah― sedang dilaksanakan adalah 11. Jumlah keseluruhan adalah 728 dengan pelengkapan kepada target 2028. Dan dari segi untuk hospital punya sistem THIS, di Sarawak sedang melaksanakan satu tapi jumlah keseluruhan yang perlu dilengkapkan adalah 151 untuk dilengkapkan sasaran 2030.
Sekian, terima kasih Tan Sri Yang di-Pertua, Yang Berhormat.
Tuan Yang di-Pertua
Baik. Seterusnya, saya jemput Puan Young Syefura binti Othman, Bentong.
Puan Young Syefura binti Othman - Bentong
*Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.* Tan Sri Yang di-Pertua, sebelum saya tanya soalan, saya mewakili Yang Berhormat Tampin ingin mengalu-alukan kehadiran para guru dan pelajar dari SMK Tunku Besar, Tampin seramai 44 orang yang diketuai oleh Cikgu Tina a/p R.
Segaran ke dalam Dewan yang mulia ini. Selamat datang semua...
[Tepuk] Baiklah, sebelum saya bertanya soalan, sedikit pantun dari Bentong.
Dari Bentong harapan dibawa, Demi rakyat terus bersama; Dengan izin Tan Sri Yang di-Pertua, Soalan Bentong nombor lima.
5. Puan Young Syefura binti Othman [Bentong] minta Menteri Kerja Raya menyatakan status terkini dan pelan peruntukan khusus bagi menaik taraf Jalan Simpang Ketari ekoran pertambahan aliran trafik di waktu puncak dan hari minggu serta kekhuatiran kesesakan trafik menjadi lebih serius dengan bermulanya operasi ECRL pada tahun hadapan.
Tuan Yang di-Pertua
Silakan, Menteri.
Timbalan Menteri Kerja Raya - Datuk Seri Dr. Haji Ahmad bin Haji Maslan
Nombor 5 ke nombor 6?...
[Dicelah] 5.
Makan lontong bersama-sama, Lepas makan merayau-rayau; Soalan Bentong nombor lima, Mengenai jalan di kawasan beliau. Tan Sri Yang di-Pertua, untuk makluman Ahli Yang Berhormat Bentong, persimpangan yang dimaksudkan ialah persimpangan di Jalan Persekutuan FT08 Jalan Bentong–Gua Musang Seksyen 4.9 yang bertemu dengan Jalan Persekutuan FT68 Jalan Kuala Lumpur–Bentong, Jalan Lama Bentong Seksyen 73.1 atau pun persimpangan Ketari.
Kementerian Kerja Raya mengambil maklum cadangan untuk menaik taraf persimpangan Ketari seperti yang dibangkitkan. KKR telah mengangkat permohonan projek menaik taraf persimpangan itu dalam rolling plan kedua Rancangan Malaysia Ketiga Belas. Skop utama bagi permohonan ini adalah untuk menaik taraf persimpangan tersebut bagi melancarkan aliran trafik kepada pengguna jalan raya.
Walau bagaimanapun, keputusan bagi permohonan tersebut akan diketahui selepas pembentangan bajet kerajaan tahun 2027.
Saya ada gambarnya di sini ya, Tan Sri Yang di-Pertua... [Sambil menunjukkan sehelai kertas] Dia berbentuk semacam huruf ‘Y’― persimpangan Ketari. Dan aliran trafik yang kita kesan adalah level of service ‘F’, atau pun memang trafik yang sesak di kawasan itu.
Timbalan Menteri Kerja Raya - Datuk Seri Dr. Haji Ahmad bin Haji Maslan
Saya ingin menyatakan di sini bahawa kita ada apa yang dipanggil sebagai
(HNDP) Highway Network Development Plan 2030. Dalam rancangan RP1 hingga RP5 Rancangan Malaysia Kedua Belas, tiada permohonan daripada kerajaan negeri. Dalam Rancangan Malaysia Ketiga Belas RP1 juga tidak menerima permohonan kerajaan negeri. RP2, kita telah menerima dan kita angkat untuk kelulusan agensi Pusat.
Antara perkara yang nak dibuat YB Bentong, pertama, kerja awalan. Kedua, pengambilan tanah dan pampasan. Ketiga, kerja tanah. Keempat, turapan jalan.
Kelima, sistem perparitan. Keenam, perabot jalan. Seterusnya, pelan pengurusan alam sekitar, enviromental management plan (EMP). Seterusnya, lampu isyarat dan lampu jalan. Pengalihan utiliti melibatkan TNB, paip Maxis, Telekom, Digi dan lain- lain. Anggaran kos keseluruhan yang kami pohon— Kementerian Kerja Raya memohon untuk projek ini ialah RM45 juta, Tan Sri.
Jadi, belum diluluskan lagi tapi kami telah mohonkan untuk manfaat rakyat di Bentong. Terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua
Baik. Saya jemput Bentong.
Puan Young Syefura binti Othman - Bentong
Terima kasih Yang Berhormat Timbalan Menteri, memberikan jawapan yang sangat baik dan lengkap.
Siap dengan gambar jalan tersebut. Terima kasih.
Yang Berhormat Timbalan Menteri, soalan tambahan saya adalah, apakah ada pelan jangka pendek sementara untuk menunggu kelulusan Bajet 2027 ataupun dalam Rolling Plan 2, untuk RMK13? Kerana kalau kita lihat, memang keperluan itu amat perlu. Dan adakah pihak kementerian ada mencadang untuk menyediakan cadangan seperti penyusunan semula lampu isyarat ataupun pembinaan alat bypass, laluan pintas ataupun pelebaran jalan sementara?
Kedua adalah sedikit soalan saya mengenai Bentong juga. Apakah status terkini Projek Central Spine Road ataupun sekarang dinamakan dengan Lebuhraya Lingkaran Tengah Utama (LTU) daripada Bentong ke Simpang Pelangai? Terima kasih Yang Berhormat Timbalan Menteri. Terima kasih Tan Sri.
Tuan Yang di-Pertua
Silakan Menteri.
Datuk Seri Dr. Haji Ahmad bin Haji Maslan
Soalan asal daripada YB Bentong ialah beliau risau tempat itu akan jadi lebih sesak apabila ECRL siap. ECRL tak lama lagi, tahun depan. Oleh itu, dari segi pelebaran jalan dan sebagainya, tidak ada lagi dinyatakan dalam laporan yang diberi kepada saya.
Apa yang kita harap ialah sistem isyarat pintar. Ini telah mula dipasang oleh Majlis Daerah Bentong. Maksud pemasangan sistem isyarat pintar ini ialah dia lampu hijaunya boleh lama jika jalan itu sesak di kawasan yang ingin kita lalukan lebih lama.
Jika tidak ada trafik daripada simpang yang lain, lampu isyarat hijaunya akan pantas bertukar kepada merah tetapi jalan yang banyak kenderaan, kita akan lamakan lampu hijaunya.
Jadi, mengenai status lingkaran tengah utama LTU, saya ada tebal di sini, Bentong, dia punya status.
[Menunjukkan senaskhah dokumen] Lepas ini kita jumpa dekat tepi itu ya? Saya boleh bagilah.
Seorang Ahli
[Berucap tanpa menggunakan pembesar suara] Hai.
Beberapa Ahli
[Ketawa]
Datuk Seri Dr. Haji Ahmad bin Haji Maslan
Jumpa di tepi. Bukan ‘pm’ tepi.
Jumpa di tepi. Tapi di khalayak ramai.
Seorang Ahli
[Berucap tanpa menggunakan pembesar suara] Okey, okey.
Datuk Seri Dr. Haji Ahmad bin Haji Maslan
Bukan main lagi dia orang mengganggu saya. Saya dahlah lama tak masuk Dewan Rakyat.
Tuan Haji Abdul Latiff bin Abdul Rahman - Kuala Krai
[Bangun]
Datuk Seri Dr. Haji Ahmad bin Haji Maslan
Tan Sri Yang di-Pertua, maklumlah ya. Johor. Terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua
Baik, saya jemput Kuala Krai
Tuan Haji Abdul Latiff bin Abdul Rahman - Kuala Krai
Terima kasih Tan Sri Yang di-Pertua.
Dari Bentong ke Gua Musang, Melalui jalan berliku-liku; Kuala Krai ingin bertanya Pontian berkaitan, Lebuhraya LTU. Jadi, Bentong ke Gua Musang. Apakah status terkini projek-projek sakit Lebuh Raya LTU, pakej 3B, pakej 3C dan Lebuh Raya KBKK, pakej 2B? Dan berapakah jumlah kos projek yang telah disemak semula berbanding kos asal serta tarikh baharu projek-projek tersebut dijangka siap sepenuhnya?
Apakah tindakan segera kementerian terhadap laluan lencongan di Lepan Jaya, Gua Musang yang gagal di selenggara sehingga mengalami kerosakan teruk.
Dah jadi macam kawah di musim bulan Muharam ini buat sugho Kelantan. Seolah- olah menunggu mana-mana kenderaan menjadi mangsa, yang amat membahayakan keselamatan pengguna jalan raya.
Dan menimbulkan persoalan, seakan-akan pihak berwajib hanya memandang sebelah mata walaupun tidak memenuhi syarat penyelenggaraan yang ditetapkan setelah pakej projek di laluan tersebut ditinggalkan oleh kontraktor tanpa ataupun tidak bertangga. Terima kasih Tan Sri.
Tuan Yang di-Pertua
Ya, Menteri.
Datuk Seri Dr. Haji Ahmad bin Haji Maslan
Bunga selasih pohon pulasan, Terima kasih, soalan tambahan. Pasir Hor ke Kadok, status semasa, okey. Kadok ke Ketereh pun okey.
Kemudian, Ketereh ke Kok Lanas ini kita tamatkan kerana tidak perform. Maka, dibagi kepada satu syarikat yang lain, dalam pembinaan. Kok Lanas ke Bukit Tiu, masih 65 peratus. Bukit Tiu ke Kampung Berangan Mek Nab, 68 peratus. Kampung Berangan Mek Nab ke Keroh, Kuala Krai, 80.23 peratus. Keroh ke Kuala Krai, 47.36 peratus. Jadi, secara keseluruhan, KBKK 71.4 peratus dan kosnya ialah RM2.332 bilion, Tan Sri.
Kita— walaupun Kerajaan Kelantan tidak bersama, kita bagi juga ini sejak zaman Yang Amat Berhormat Pekan lagi, projek ini. Jadi, mengenai jalan di Gua Musang dan sebagainya, kita sentiasa memantau perkara itu dan kita akan perbaiki yang mana rosak teruk. Terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua
Baik. Seterusnya, saya jemput Komander Nordin bin Ahmad Ismail, Lumut.
Komander Nordin bin Ahmad Ismail TLDM (B) - Lumut
Terima kasih Tan Sri Yang di-Pertua. Serangkap pantun dari saya. Kalau tuan pergi memancing— ha, bukan untuk Pontian. Untuk Timbalan Menteri Pengangkutan. Pontian jangan jawab.
Kalau tuan pergi memancing, Pergi memancing di Sabak Bernam, Harap Menteri jangan pening, Soalan saya nombor enam.
6. Komander Nordin bin Ahmad Ismail TLDM (B) [Lumut] minta Menteri Pengangkutan menyatakan adakah kerajaan merancang untuk menaik taraf Lapangan Terbang Pulau Pangkor atau membuka semula perkhidmatan penerbangan komersial ke pulau tersebut dan apakah kajian kebolehlaksanaan yang telah disiapkan setakat ini.
Beberapa Ahli
[Ketawa]
Tuan Yang di-Pertua
Sila Menteri.
Timbalan Menteri Pengangkutan - Datuk Haji Hasbi bin Haji Habibollah
Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Yang di- Pertua, untuk maklumat Ahli Yang Berhormat, Lapangan Terbang Pulau Pangkor sebelum ini pernah mengendalikan perkhidmatan penerbangan charter oleh Berjaya Air menggunakan pesawat Dash 7 dan SKS Airways dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang.
Walau bagaimanapun, perkhidmatan tersebut telah pun dihentikan pada bulan Mei 2022. Kerajaan menyedari bahawa ketersambungan udara adalah pemangkin— antara pemangkin penting kepada sektor pelancongan. Oleh itu, Kementerian Pengangkutan akan memastikan sebarang keputusan masa hadapan mengenai Lapangan Terbang Pulau Pangkor mengambil kira potensi pertumbuhan permintaan perkhidmatan udara. Memandangkan buat masa ini perjalanan laut ke Pulau Pangkor lebih diutamakan oleh pelancong dan penduduk setempat, selaras dengan status pulau bebas cukai dan sasaran pelancongan negara.
Jadi, MOT dan Malaysia Airports Holdings Sdn Bhd senantiasa mengalu- alukan sekiranya mana-mana syarikat penerbangan yang ingin memulakan operasi pesawat jenis Twin Otter di Lapangan Terbang Pulau Pangkor.
Jadi, berkaitan dengan kajian— yang sebenarnya, kajian itu kalau ada dibuat, ia datang daripada syarikat penerbangan sebenarnya. Mereka yang akan mengkaji sama ada dia orang nak masuk atau tidaklah. Ya lah, mereka dari segi business model dialah. Jadi, itu yang sebenarnya. Kajian daripada MOT, tidak ada. Memang tidak ada. Tapi daripada syarikat, kalau ada. Terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua
Baik, saya jemput Lumut.
Komander Nordin bin Ahmad Ismail TLDM (B) - Lumut
Terima kasih di atas jawapan Menteri tadi. Soalan tambahan saya, jika tiada perancangan, maknanya lapangan terbang tersebut akan menjadi gajah putih. So, bolehkah Lapangan Terbang Pulau Pangkor ini diguna pakai bagi aktiviti-aktiviti oleh agensi kementerian lain bagi menarik pelancong-pelancong datang ke Pulau Pangkor? Kita sedia maklum Pulau Pangkor ini tak sebesar Langkawi. So, jika lapangan terbang itu boleh diguna pakai untuk aktiviti, kemungkinan besar akan menarik lebih banyak pelancong untuk hadir ke pulau bebas cukai, Pulau Pangkor. Mohon jawapan Menteri.
Tuan Prabakaran a/l M Parameswaran - Batu
[Bangun]
Tuan Yang di-Pertua
Sila Menteri.
Datuk Ir. Shahelmey bin Yahya - Putatan
[Bangun]
Dato’ Haji Adnan bin Haji Abu Hassan - Kuala Pilah
[Bangun]
Datuk Haji Hasbi bin Haji Habib
Terima kasih Yang Berhormat Pangkor.
Jadi, pada masa inilah ya, boleh saya mungkin nak bagi tahu juga ya, yang sebenarnya ada tiga airport yang di pulau-pulau ini yang sekarang ini tidak berapa digunakanlah iaitu Pulau Pangkor.
Datuk Haji Hasbi bin Haji Habib
Pegawai MAHB pun ada di situ sebenarnya menjaga aset-aset ini ya. Pulau Redang ada 12, Tioman ada 12. Jadi yang sebenarnya satu, kita memang MAHB mengalu-alukan sekiranya ada syarikat-syarikat yang ingin nak mendarat di sana.
Tetapi pada masa ini, ia nya dibuka kepada private aircraft ya, kapal terbang tentera ataupun helikopter tentera dan sebagainya dan juga ia nya digunakan untuk kalau ada apa-apa emergency landing, kecemasan dan sebagainya dan juga ia nya digunakan untuk flying doctors.
Mereka menggunakan, bukannya kosong langsung. Memang ia nya dibuka untuk― dan operasinya ialah daylight operation. Jadi, ia nya tidak ditutup. Sebab itu masih ada lagi staf-staf MAHB yang menjaga aset-aset ini.
Jadi, sekiranyalah ya ada ― dan Berjaya Air pun yang sebenarnya masih ada iaitu ATR― dia ada dua buah ATR 72-600 dan ATR 72-500. Tetapi ini kalau adapun ia nya digunakan apabila untuk charter sahaja bila dia penuh. Jadi, sebab itu ia tidak ditutup. Jadi, sekiranyalah ada rakyat di sana ingin menggunakan untuk mungkin menggunakan aset-aset yang ada di sana itu, well, it's okay to write to MAHB lah, tuan punya aset-aset ini sekiranya diperlukan dan rasanya sentiasa membantulah kalau ia nya dapat boleh digunakan untuk keperluan pelancongan ataupun keperluan masyarakat di sana. Terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua
Baik, saya jemput Putatan.
Datuk Ir. Shahelmey bin Yahya - Putatan
Terima kasih Tan Sri Yang di- Pertua. Pembentangan Belanjawan 2026 ada menggariskan berkenaan pelaburan RM2.3 bilion antaranya untuk melaksanakan pembangunan untuk Lapangan Terbang Kota Kinabalu dan Tawau. Soalan tambahan Putatan, adakah pembangunan tersebut sudah dimulakan? Jika YB Menteri mempunyai perincian secara kasarnya, Putatan minta Yang Berhormat Menteri nyatakan peratusan perbelanjaan serta tahap kemajuan projek yang telah digunakan untuk tujuan tersebut.
Tuan Yang di-Pertua
Sila Menteri.
Datuk Haji Hasbi bin Haji Habibollah
Terima kasih YB Putatan. Satu ialah sekarang ini kita tahu Airport Tawau sedang berjalan ha pelaksanaannya ha.
Sekarang ini, pembesaran. Ha the detail itu saya akan bagi secara bertulislah ya.
Yang sebenarnya Airport KK juga sekarang ini bernilai lebih hampir-hampir mencecah RM500 juta juga, perancangan MOT untuk pembesaran Airport Kota Kinabalu juga.
Tetapi masa ini ada beberapa perkara yang belum di― yang belum selesai iaitu berkaitan dengan tanah ya, keperluan kawasan ini, tapak untuk pembesaran a few spot di existing runway dan sebagainya yang belum lagi diselesaikan Kerajaan Negeri Sabah. Jadi, insya-Allah kita sedang berunding masa ini ya tentang tapak.
Peruntukan sudah diperuntukkan untuk KK Airport, hampir mencecah RM500 jutalah, hampir setengah bilion tetapi inilah kalau semua hal-hal tanah ini sudah beres, sudah diselesaikan rasanya projek tunggu nak dibangunkan sahaja, dilaksanakan. Tetapi the detail itu yang bab-bab tanah ini kita tunggu dululah apa keputusan Kerajaan Sabah ya. Terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua
Baik. Saya jemput seterusnya Tuan Mohamad Shafizan Haji Kepli, Batang Lupar.
Tuan Yang di-Pertua
Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih Tan Sri, soalan saya mohon― nombor 7.
Mohon Menteri berikan jawapan.
7. Tuan Mohamad Shafizan Haji Kepli [Batang Lupar] minta Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menyatakan status rancangan untuk melaksanakan Projek Bersepadu Pembangunan Ekonomi Kampung (PROSPEK) Sebuyau serta sejauh manakah ia diunjurkan akan dapat meningkatkan pendapatan dan membasmi kemiskinan di kampung-kampung yang terlibat.
Tuan Yang di-Pertua
Silakan Menteri.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah - Datuk Hajah Rubiah binti Wang
Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Terima kasih Tan Sri Yang di-Pertua. Begitu juga terima kasih kepada YB Batang Lupar atas soalan kepada kementerian.
Tan Sri Yang di-Pertua, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah melalui Program Lonjakan Mega Luar Bandar sedang melaksanakan lima Projek Bersepadu Pembangunan Ekonomi Kampung (PROSPEK) di Sarawak. Salah satu PROSPEK yang sedang dilaksanakan adalah PROSPEK Sebuyau yang telah bermula pada tahun 2025 dengan kos pembangunan sebanyak RM9 juta.
Peruntukan PROSPEK Sebuyau bagi tahun 2026 adalah berjumlah RM1.1 juta. Projek ini akan dilaksanakan oleh RISDA sebagai agensi pelaksana.
Pembangunan tiga komponen PROSPEK melibatkan komponen ekonomi, perumahan dan juga prasarana asas yang masih dalam pelaksanaan di kampung- kampung PROSPEK yang terlibat.
Pembangunan projek di bawah PROSPEK Sebuyau yang melibatkan lapan buah kampung di daerah Sebuyau, Sarawak akan dilaksanakan bagi tempoh lima tahun. Perancangan projek turut dirangka melalui kerja-kerja pengumpulan data awal PROSPEK Sebuyau yang telah diselesaikan oleh pasukan kajian daripada Universiti Malaysia Sarawak.
Pembangunan komponen ekonomi PROSPEK Sebuyau melibatkan pembangunan tanaman kelapa sebagai produk niche dan aktiviti sampingan seperti perikanan, pemprosesan produk hasil laut, perusahaan makanan tradisional, pertukangan dan lain-lain. Pembangunan komponen PROSPEK dijangka memberi manfaat kepada 3,000 penduduk di daerah Sebuyau. Pelbagai manfaat dari segi peningkatan pendapatan, peluang pekerjaan, kemudahan asas, perumahan dan peningkatan kualiti hidup dapat dinikmati oleh masyarakat setempat, khususnya di daerah ini.
Pihak RISDA kini sedang dalam melaksanakan agihan bantuan fasa pertama bagi komponen ekonomi dan perumahan yang melibatkan 21 permohonan peserta yang telah diluluskan. Bantuan ini melibatkan bantuan input tanaman kelapa, peralatan menangkap ikan, bina baru rumah dan lain-lain lagi.
Bantuan tersebut akan diagihkan secara berperingkat dijangka akan memberi manfaat lebih kepada 70 orang peserta untuk tahun 2026. Pihak kementerian dan agensi pelaksana projek akan memberi komitmen sepenuhnya agar projek PROSPEK Sebuyau dapat disegerakan demi manfaat kepada masyarakat di daerah tersebut. Terima kasih Tan Sri Yang di-Pertua.
Tuan Yang di-Pertua
Saya jemput Batang Lupar.
Tuan Mohamad Shafizan Haji Kepli - Batang Lupar
Terima kasih Tan Sri Speaker, terima kasih Timbalan Menteri atas jawapan yang diberikan. Soalan tambahan saya adalah adakah kementerian telah menjalankan penilaian impak sosioekonomi terhadap PROSPEK Sebuyau ini? Jika ya, apakah dapatan utama dan bagaimana penambahbaikan akan dilaksanakan?
Dan adakah bentuk kerjasama antara kerajaan― kementerian, Kerajaan Negeri Sarawak dan agensi berkaitan bagi memastikan kelestarian projek ini agar ia nya dapat memberi pulangan ekonomi yang jangka panjang kepada penduduk Sebuyau?
Dan bagaimanakah pihak kementerian dapat memastikan penyertaan semua golongan termasuk golongan belia, golongan wanita, golongan usahawan serta bagaimanakah kementerian memastikan limpahan hasil ekonomi daripada projek ini benar-benar dinikmati oleh penduduk tempatan?
Akhir sekali, adakah kementerian bercadang untuk memperluaskan model PROSPEK ke kawasan luar bandar yang lain, yang mempunyai potensi ekonomi yang sama khususnya di negeri Sarawak? Terima kasih Tan Sri Speaker, terima kasih Menteri.
Tuan Yang di-Pertua
Sila Menteri. Soalan bertindan-tindan nak jawab dia.
Datuk Hajah Rubiah binti Wang
Ha, soalan dia begitu banyak sekali ya.
Sekurang-kurangnya lima soalan tadi ya. Tan Sri Yang di-Pertua, untuk makluman Yang Berhormat, pelaksanaan PROSPEK Sebuyau ini kita dahulukan dengan kajian impak. Yang seperti yang saya maklumkan tadi melalui pungutan data daripada pasukan daripada UNIMAS yang diketuai oleh Profesor Dr. Affendy Arip.
Hasil kajian yang telah dilaksanakan, kajian impak yang telah dilaksanakan telah mendapati hasil utama ataupun produk utama yang perlu, yang dapat dibangunkan di kawasan ini yang boleh meningkatkan pendapatan, mencipta peluang pekerjaan kepada penduduk di sekitar berkenaan yang pertama adalah tanaman kelapa. Untuk makluman Yang Berhormat, kita telah pun merancang seramai 240 permohonan untuk tanaman kelapa tetapi belum dilaksanakan sepenuhnya Yang Berhormat.
Begitu juga dengan ekonomi nelayan. Itu juga sektor ekonomi yang kedua khususnya berkaitan dengan hasilan laut.
Yang ketiga, ekonomi berbentuk generik iaitu industri sokongan. Yang ini lebih kepada keusahawanan IKS.
Datuk Hajah Rubiah binti Wang
Dan, yang ketiga, berkaitan dengan— apa nama program-program sosial, dari sudut perumahan dan juga infrastruktur. Dan, untuk makluman Yang Berhormat juga, dalam pelaksanaan program ini, kita melibatkan pelbagai agensi di daerah – di Kota Samarahan, yang mana, agensi utama yang terlibat adalah IRSDA, sebab dalam masa yang sama, untuk makluman Yang Berhormat ya, kajian secara menyeluruh daerah Sebuyau itu telah dilaksanakan, yang mana, UNIMAS telah mengenal pasti program-program utama untuk dibangunkan di kawasan berkenaan bernilai RM64.9 juta, kos keseluruhan dia.
Tetapi, IRSDA hanya mengambil sebahagian daripada kajian berkenaan.
Hanya melibatkan lapan buah kampung sahaja. Lapan buah kampung, ya.
Manakala, yang lain diambil tindakan oleh pihak IRSDA. Memandangkan infrastruktur khususnya untuk tanaman kelapa telah pun disediakan oleh IRSDA.
Selain daripada itu, kita juga melibatkan Jabatan Pertanian, ya. Jabatan Pertanian Sarawak. Kita melibatkan M–FICORD, kita melibatkan UPEN Negeri Sarawak dan juga, kita melibatkan Jabatan Tanah dan Survei sebab melibatkan tanaman kelapa, yang mana, kita perlu pengesahan tanah daripada— apa nama— Jabatan Tanah dan Survei dan juga pejabat daerah, sebagai koordinator kita di peringkat daerah.
Jadi, secara keseluruhannya, projek ini memang akan— orang kata melibatkan banyak pihak bagi memastikan pelaksanaannya dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan. Dalam hal itu juga, untuk makluman Yang Berhormat, hasil kajian UNIMAS juga, mendapati beberapa kategori generasi perlu diambil tindakan, ya, selaras dengan Dasar Pembangunan Luar Bandar.
Kita ada 10 elemen luar bandar, yang mana, belia dan wanita, selain daripada KIR – Ketua Isi Rumah untuk miskin luar bandar ini diambil kira, kita juga melibatkan golongan belia dan wanita dalam program-program pembangunan ekonomi, khasnya yang melibatkan usahawan-usahawan industri-industri hiliran, khasnya seperti jahitan, bengkel, kraf tangan dan sebagainya, selain daripada usahawan- usahawan yang melibatkan— apa nama hasil-hasilan laut, ya. Hasil-hasilan laut yang telah— yang menjadi produk utama kampung-kampung berkenaan.
Dan, berdasarkan kajian kita untuk jangka masa panjang Yang Berhormat, sebenarnya program ini akan memberi income. Maksudnya, peningkatan pendapatan ya, kepada peserta-peserta yang terlibat, ya. Peserta-peserta terlibat dan kita menjangkakan program ini seluruh negara, kita ada 31 program Yang Berhormat ya. 31 program, rata-ratanya telah menunjukkan kejayaan-kejayaan, dan kita pun mengharapkan yang PROSPEK Sebuyau pun akan— apa nama memberi impak ekonomi kepada masyarakat setempat.
Dan insya-Allah, untuk makluman Yang Berhormat, projek ini akan kita teruskan. Akan teruskan. Untuk 2026 sahaja, kita telah meluluskan, kementerian telah meluluskan lima program ya, untuk tahun ini, sebab Sebuyau dulu 2024. Tahun ini, kita telah meluluskan lima lagi dan insya-Allah, kita akan teruskan lagi ya, berdasarkan permohonan-permohonan yang diutarakan oleh kerajaan negeri melalui UPEN – Unit Perancang Negeri.
Kita dapatkan cadangan ya, daripada Unit Perancang Negeri untuk memastikan program-program ini dapat dilaksanakan dengan lebih cepat, lebih mudah dan juga tidak banyak masalah, khususnya dari sudut orang kata, isu-isu setempat. Contohnya, kalau melibatkan pertanian dan sebagainya, isu tanah memainkan peranan yang penting.
Jadi, rasa saya menjawab hampir semua, Tan Sri Yang di-Pertua. Namun, kalau YB Batang Lupar nak yang lebih, kita boleh buat taklimat pun, dengan YB Batang Lupar ya. Di Samarahan lah, di Samarahan nanti. Terima kasih.
Tuan Mohamad Shafizan Haji Kepli - Batang Lupar
Terima kasih. Terima kasih, Menteri.
Tuan Yang di-Pertua
Baik. Saya jemput Padang Terap.
Tuan Nurul Amin bin Hamid - Padang Terap
Terima kasih, Tan Sri Yang di-Pertua. Yang Berhormat Timbalan Menteri, panjang jawapan itu. Sepertimana yang disebut oleh Yang Berhormat Timbalan Menteri tadi, ada 31 program yang diluluskan seluruh negara, projek prospek yang bermula tahun 2020, termasuklah di Kedah, ada tiga projek prospek di Sik, di Padang Terap, Projek PROSPEK Pedu dan juga, PROSPEK Sidang.
Saya melihat ada— objektif prospek ialah mengeluarkan peserta daripada garis kemiskinan. Jadi, soalan saya ialah berapakah— berapa peratus kah jumlah peserta yang berjaya dikeluarkan daripada garis kemiskinan ataupun kemiskinan tegar di seluruh Malaysia, khususnya di negeri Kedah? Terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua
Sila, Menteri.
Datuk Hajah Rubiah binti Wang
Terima kasih, YB Padang Terap berkaitan— eh, YB? Terima kasih YB atas soalan tambahan. Untuk makluman YB, untuk Padang Terap, kita ada projek prospek yang melibatkan 12 kampung. 12 kampung. Jadi, siling untuk tahun ini, kita ada lima cadangan baru, dan apa nama penerima manfaat. Kalau di Padang Terap ini ada 518 peserta.
Dan, suka saya maklumkan di sini kepada Yang Berhormat bahawa kebanyakan projek kita ini ya, telah pun meningkatkan pendapatan dan juga mencipta peluang pekerjaan. Misalannya, prospek yang paling berjaya bagi firasat saya, ialah PROSPEK Sabak Bernam, yang mana, niche projek dia adalah— apa nama— rock melon sale. Yang ini special varieties untuk Selangor ya. Untuk Selangor, yang mana, income dia untuk produk rock melon sahaja melebihi RM60,000 setahun. Lebih RM60,000 setahun. Dua musim ya, RM60,000.
Itu satu projek niche tetapi banyak lagi program-program lain, yang juga menjana pendapatan, sebab salah satu lagi program khas yang dibuat di Sabak Bernam adalah dia buat tempat jualan ya, macam gerai jualan yang man, tempat itu kita bekerjasama dengan MOTAC. Pelancong-pelancong datang di situ dan rata-rata usahawan yang kita cipta melalui program PROSPEK ini, rata-rata menyatakan peningkatan pendapatan daripada berkenaan.
Berkaitan dengan jumlah yang telah kita keluarkan daripada garis kemiskinan, untuk makluman Yang Berhormat, overall kita belum lagi membuat kajian khusus. Maksudnya, kajian khusus daripada apa nama dapatan berkenaan.
Kita masih lagi dalam proses mengumpul data, sejauh mana program ini kita kembangkan pada masa hadapan, kita mesti tahu tentang orang kata sejauh mana kejayaan itu dari sudut orang kata mengurangkan kadar kemiskinan, mengeluarkan peserta daripada kemiskinan.
Kita belum ada data yang spesifik, Yang Berhormat dan kita mengharapkan kajian sebab target kita cuma 30 peratus peningkatan pendapatan peserta itu, dapat kita tangkap, dapat kita tingkatkan.
Insya-Allah, kita akan buat kajian khusus berkaitan pelaksanaan sebab sekarang, kita di KKDW pun kita telah serius dalam data-data macam inilah ya, untuk memastikan apa orang kata semua program-program kita ini mencapai target sasaran dan dapat dicetuskan melalui angka ataupun figure statisitk yang boleh orang kata meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap keberkesanan projek berkenaan. Terima kasih, Tan Sri Yang di-Pertua.
Tuan Yang di-Pertua
Baik, terima kasih. Seterusnya, saya jemput Tuan Wan Hassan bin Mohd Ramli, Dungun.
Tuan Haji Wan Hassan bin Mohd Ramli - Dungun
Terima kasih, Tan Sri Yang di-Pertua. Soalan nombor 8.
8. Tuan Haji Wan Hassan bin Mohd Ramli [Dungun] minta Menteri Kerja Raya menyatakan:
(a) kriteria pertimbangan utama Kerajaan dalam cadangan pelaksanaan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3) secara Public-Private Partnership (PPP) termasuk implikasinya terhadap kadar tol kepada pengguna; dan
(b) Garis masa pelaksanaan projek LPT3 memandangkan proses Request for Proposal (RFP) serta rundingan konsesi masih berjalan.
Tuan Yang di-Pertua
Silakan, Menteri.
Timbalan Menteri Kerja Raya - Datuk Seri Dr. Haji Ahmad bin Haji Maslan
Tak ada pantun, Dungun?
[Ketawa] Selalu, orang bertanya pantun, apa semua. Dungun tak berpantun, saya tak berpantunlah.
[Ketawa] Tan Sri Yang di-Pertua, untuk makluman Ahli Yang Berhormat Dungun, ramai Ahli-ahli Yang Berhormat di Pantai Timur ingin mendengar jawapan ini ya. Kerajaan telah memutuskan bahawa, cadangan Projek Lebuhraya Pantai Timur Fasa 3
(LPT3), LPT1 sudah, LPT2 sudah. LPT3 ini dilaksanakan secara penswastaan dengan kaedah Kerjasama Awam Swasta (PPP), melalui bidaan bersaing request for proposal (RFP), dengan izin, Tan Sri.
Selaras dengan kaedah pelaksanaan projek lebuh raya secara penswastaan, kos pembangunan LPT3 ini, akan ditanggung sepenuhnya oleh pembida yang berjaya. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, kadar tol bagi Lebuhraya LPT3 masih belum dimuktamadkan.
Timbalan Menteri Kerja Raya - Datuk Seri Dr. Haji Ahmad bin Haji Maslan
Saya pernah menjawab kalau kajian 2022, kemungkinan RM80.
Kemungkinan RM80. Itu kajian 2022. Hari ini dah 2026 ya. Kemudian akan ditentukan berpandukan kepada beberapa faktor. Antaranya kos pembinaan, kos pembiayaan, kos operasi dan penyelenggaraan, unjuran trafik dan tempoh konsesi.
Kementerian Kerja Raya telah mengemukakan penyataan keperluan projek (statement of needs) dengan izin, (SoN) kepada Unit Kerjasama Awam Swasta
(UKAS) JPM (Jabatan Perdana Menteri) bagi tujuan penyediaan dokumen RFP
(request for proposal) untuk pertimbangan dan kelulusan Jemaah Menteri.
Pihak UKAS JPM mensasarkan untuk memuktamadkan dokumen RFP bagi cadangan projek LPT3 pada tahun ini. Buat masa ini, fokus utama kerajaan adalah untuk memastikan kelancaran dan penyiapan projek Lebuhraya Lingkaran Tengah Utama (LTU) dan Lebuhraya Kota Bharu–Kuala Krai (KBKK) mengikut jadual.
Penyiapan projek-projek ini amat penting bagi melengkapkan jaringan perhubungan strategik.
Tan Sri Yang di-Pertua, model konsesi ini ialah build operate transfer (BOT) atau bina kendali pindah. Seterusnya, syarikat konsesi lantikan belum dilaksana.
Panjangnya 122 kilometer, dua lorong dua hala. Reka bentuk dan jenis lebuh raya JKR R6 at-grade. Kos pembangunan 2022, anggaran kos ialah RM9.8 bilion.
Tempoh konsesi belum dimuktamadkan. Sistem tol belum dimuktamadkan.
Persimpangan bertingkat lima persimpangan, tol gantri belum dimuktamadkan.
Jajaran bermula Kampung Gemuroh, Kuala Terengganu berakhir di Tunjong, Kota Bharu. Terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua
Baik. Saya jemput Dungun.
Tuan Haji Wan Hassan bin Mohd Ramli - Dungun
Terima kasih Timbalan Menteri atas jawapan yang diberi. Kerajaan Persekutuan telah menolak penyelesaian tuntutan bayaran balik kos pembinaan LPT2 berjumlah RM1.43 bilion kepada Kerajaan Negeri Terengganu. Sedangkan lebuh raya merupakan tanggungjawab Kerajaan Persekutuan. Maka, apakah mesej yang ingin disampaikan kerajaan kepada rakyat Pantai Timur apabila projek baru dibiayai melalui PPP manakala kos projek Persekutuan yang telah ditanggung oleh negeri pula tidak diselesaikan? Pohon penjelasan.
Tuan Yang di-Pertua
Sila Menteri.
Datuk Seri Dr. Haji Ahmad bin Haji Maslan
Tan Sri Yang di-Pertua, jika Kerajaan Persekutuan mempunyai duit yang cukup, tak perlulah ada tol dan juga penswastaan. Kita mengetahui bahawa KBKK (Kota Bharu-Kuala Krai) dan juga Lingkaran Tengah Utama semuanya tak ada tol, Tan Sri.
LPT1, 2 itu tolnya sangat rendah. Apa yang kita harapkan ialah Kerajaan Persekutuan mendapatkan dana yang secukupnya tetapi jika dana itu tidak cukup kerana ada projek-projek lain yang lebih penting, maka kita perlu mengalihkan wang yang ada itu untuk melaksanakan projek-projek yang lain. Pada ketika kita tahu bahawa kita ada— tidak ada penswastaan pun untuk Pan Borneo, Sarawak dan juga Sabah.
Namun untuk LPT3 ini kita berhasrat untuk menswastakan kerana kekangan kewangan. Kalau kewangan mencukupi, saya kira tidak perlu diswastakan.
Walaupun demikian, pada saat dan ketika ini laluan tersebut hanya penuh ketika waktu puncak hari raya dan cuti. Sekarang ini apabila tak lama lagi ECRL sudah siap ya, akan siap mungkin tahun depan atau tahun selepas itu ia sudah menjadi satu alternatif kepada rakyat Pantai Timur untuk pergi ke kawasan Lembah Klang dan apabila akhirnya nanti KBKK dan LTU siap, ia juga satu lagi alternatif.
Jadi, ini alternatif ketiga ini. Macam juga namanyalah LPT3, alternatif ketiga.
Pada ketika yang sama masih lagi boleh digunakan jalan-jalan yang ada dan kita berharap agar ECRL cepat siap dan KBKK, LTU juga cepat siap. Terima kasih Tan Sri.
Tuan Yang di-Pertua
Baik. Seterusnya, saya jemput Tuan William Leong Jee Keen, Selayang.
Tuan William Leong Jee Keen - Selayang
Terima kasih Tan Sri Speaker.
Soalan saya nombor 9 .
9. Tuan William Leong Jee Keen [Selayang] minta Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam menyatakan mengambil kira usaha kerajaan dalam mendigitalisasikan pentadbiran negara serta prinsip ketelusan sebagai tonggak utama kepada nilai Madani, apakah usaha kerajaan untuk membolehkan laporan EIA untuk diakses penuh melalui capaian internet bagi memudahkan akses orang ramai.
Tuan Yang di-Pertua
Silakan Menteri.
Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam - Tuan Syed Ibrahim bin Syed Noh
Terima kasih Tan Sri Yang di-Pertua. Terima kasih kepada Yang Berhormat Selayang. Pertamanya Tuan Yang di-Pertua, Tan Sri Speaker.
Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) melalui Jabatan Alam Sekitar sentiasa komited untuk mempertingkatkan kecekapan sistem penyampaian maklumat berkaitan Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling ataupun EIA kepada orang awam.
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, JAS telah melaksanakan transformasi digital secara komprehensif bagi memudahkan capaian orang awam terhadap laporan EIA bermula tahun 2021. Inisiatif ini merangkumi pengenalan kaedah pameran laporan EIA secara hibrid iaitu gabungan pameran secara fizikal dan dalam talian. Laporan EIA boleh diakses oleh orang awam kecuali laporan yang terkait dengan sensitiviti, keselamatan dan kedaulatan negara dalam menjamin kepentingan nasional.
Bagi memudah cara akses orang awam terhadap laporan EIA yang sedang dinilai, JAS menyediakan kemudahan pameran secara dalam talian melalui laman web rasmi dan platform media sosial JAS sepanjang tempoh pameran awam yang ditetapkan. Orang awam boleh mengemukakan ulasan secara terus melalui borang maklum balas dalam talian yang disediakan.
Selain itu, notis pemberitahuan pameran awam turut diiklankan dalam dua akhbar utama secara digital bagi memastikan maklumat cadangan projek pembangunan di bawah perintah kualiti alam sekeliling aktiviti yang ditetapkan, penilaian kesan kepada alam sekeliling 2015 sampai kepada kumpulan sasar.
Di samping itu, ringkasan eksekutif bagi laporan EIA Jadual Pertama dan Jadual Kedua boleh diakses pada bila-bila masa melalui portal perpustakaan, Enviro Digital @ JAS. Bagi permohonan akses kepada laporan EIA lengkap, orang awam boleh mengemukakan permohonan rasmi melalui lawan web yang kemudiannya akan diproses oleh ibu pejabat JAS atau pejabat JAS negeri berkaitan sebagaimana tatacara yang telah ditetapkan.
Kementerian akan terus memperkukuh penyampaian perkhidmatan berkaitan EIA secara profesional, secara telus dan bertanggungjawab selaras dengan prinsip Malaysia MADANI. Usaha pendigitalan ini akan terus dipergiat bagi memastikan kelestarian alam sekitar sentiasa terpelihara di samping menjaga kepentingan dan hak akses maklumat oleh orang awam. Terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua
Baik. Saya jemput Selayang.
Tuan William Leong Jee Keen - Selayang
Terima kasih kepada Timbalan Menteri dengan jawapan yang penuh. Saya memahami sepenuhnya bahawa laporan EIA sukar untuk dibuka untuk muat turun orang awam bagi melindungi maklumat sensitif dan kepentingan keselamatan negara. Namun demikian, memandangkan penglibatan awam dan pihak berkepentingan merupakan elemen penting dalam memacu pembangunan yang mampan dan inklusif.
Apakah jaminan kementerian bahawa prosedur permohonan untuk mendapatkan akses kepada laporan EIA akan dipertimbangkan secara adil, telus dan akan memberikan maklumat yang penuh supaya orang awam dapat memainkan peranan dan menyertai proses untuk menjaga alam sekitar kita, di mana kepentingan orang awam tidak akan di jejas atau dinafikan?
Tuan Yang di-Pertua
Sila Menteri.
Tuan Syed Ibrahim bin Syed Noh
Terima kasih Tan Sri Yang di-Pertua.
Terima kasih Yang Berhormat Selayang atas soalan tambahan.
Pertamanya, kementerian melalui Jabatan Alam Sekitar ingin menjamin bahawa proses permohonan akses Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) akan dilaksanakan secara adil, telus dan dengan halangan birokrasi yang diminimumkan.
Tuan Ir. Ts. Haji Khairil Nizam bin Khirudin - Jerantut
[Bangun]
Tuan Syed Ibrahim bin Syed Noh
Selaras dengan keperluan perintah kualiti alam sekeliling, aktiviti yang ditetapkan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling 2015 pameran dan ulasan awam adalah antara prosedur yang perlu dilaksanakan, khususnya laporan EIA bagi aktiviti yang ditetapkan di bawah Jadual Kedua.
Tuan Syed Ibrahim bin Syed Noh
Proses ini secara langsung untuk memberikan maklumat projek dan mendapatkan pandangan awam bagi projek pembangunan yang dicadang.
Pematuhan kepada keperluan perundangan merupakan obligasi jabatan dalam menjamin ketelusan bagi memastikan penglibatan awam diberikan keutamaan.
Prosedur permohonan dan tatacara bagi mengakses Laporan EIA secara fizikal telah pun dinyatakan dalam laman web rasmi jabatan bagi mana-mana pihak yang berminat untuk mengakses Laporan EIA. Akses kepada EIA akan dimaklumkan kepada pemohon pada masa dan tempat ditetapkan. Dengan transformasi digital juga, semua ringkasan eksekutif Laporan EIA boleh dimuat turun dari Perpustakaan Enviro Digital@JAS tanpa ada sekatan dan birokrasi.
Sebagai tambahan kepada jawapan Tan Sri Yang di-Pertua, saya juga ingin berkongsi secara umum berkenaan dengan proses yang berlaku apabila kita menyebutkan tentang pelaksanaan EIA di Malaysia. Iaitu apa yang berlaku ialah sebelum penyediaan Laporan EIA oleh perunding ataupun penggerak projek, maka penggerak dan perunding, jururunding ini dia mesti menjalankan sesi libat urus supaya ada perbincangan dengan kumpulan bersasar. Ada kaji selidik, ada townhall dan sebagainya.
Supaya ada pandangan daripada penerima-penerima yang sensitif berkaitan dengan cadangan pembangunan dan ada penglibatan juga di peringkat komuniti kawasan radius sekitar lima kilometer dan dapatan daripada kajian itu akan dinyatakan dalam Laporan EIA. Kemudian, semasa laporan dinilai pula, Laporan EIA boleh diakses secara online melalui laman web dan platform media sosial JAS.
Maksudnya, ada tempoh pameran dan ulasan dalam 45 hari. Ulasan ini boleh dikemukakan secara online dan kemudian, selepas pula Laporan EIA diluluskan, ia boleh diakses dengan memohon menggunakan borang yang disediakan dalam laman web JAS.
Jadi, permohonan itu akan diproses, dimaklumkan masa dan tempat yang ditetapkan. Saya nak beri keyakinan, kita harus usaha supaya adanya pelaporan yang telus, adil dan penyertaan awam itu turut ada supaya berlakunya pelaporan yang baik, yang boleh diterima oleh pelbagai pihak. Terima kasih Yang Berhormat.
Tuan Yang di-Pertua
Baik, saya jemput Langkawi.
Dato’ Mohd Suhaimi bin Abdullah - Langkawi
Terima kasih Tan Sri Yang di-Pertua. Saya membaca Laporan JAS yang menyatakan bahawa kos penyediaan Laporan EIA ditanggung sepenuhnya oleh pemaju projek. Maka, Yang Berhormat Menteri, Tan Sri, elemen bias itu tetap ada. Contoh, di Langkawi— kalau kita ambil tapak ataupun kawasan UNESCO Global Geoparks sudah tentu kita mesti protect kawasan ini kerana tiap-tiap tahun UNESCO akan datang untuk melihat pemeriksaan, sama ada boleh lagi mengekalkan status UNESCO tersebut.
Jadi, soalan saya Yang Berhormat Menteri, kalaulah EIA ini dibuat oleh pemaju maka NGO— sebab di Langkawi juga ada NGO-NGO yang berkepentingan dalam soal ini, makna kata dia expert in terms of technical, sedangkan yang dibuka kepada umum hanya mungkin executive summary daripada laporan tersebut.
Jadi, persoalan saya Yang Berhormat Menteri, apakah JAS akan mengambil tindakan berhubung dengan laporan ini? Terima kasih Tan Sri Yang di-Pertua.
Tuan Yang di-Pertua
Baik, sila Menteri.
Tuan Syed Ibrahim bin Syed Noh
Terima kasih Tan Sri Yang di-Pertua.
Terima kasih pada Langkawi atas soalan tambahan tersebut iaitu berkenaan dengan mungkin adanya berat sebelah ataupun pelaporan yang bias kerana ia nya datang daripada perunding. Saya nak berikan makluman juga kepada Yang Berhormat bahawa sebenarnya dalam proses untuk mana-mana perundingan ataupun perbincangan tentang Laporan EIA, di peringkat JAS sendiri, dalam jawatankuasa JAS sendiri, memang ada melibatkan NGO. Ya. Maknanya, NGO-NGO ini juga pada peringkat awal boleh memberikan pandangan kepada penilaian kepada projek tersebut.
Di peringkat JAS sendiri, kita ada mesyuarat teknikal yang dihadiri oleh agensi, profesional untuk mengulas Laporan EIA, ruang itu ada. Mungkin apa yang berlaku adalah mungkin mereka tidak tahu ataupun mereka tidak dapat maklumat sepenuhnya. Saya percaya selepas ini kita insya-Allah kita boleh sampaikan maklumat, penerangan supaya sampai kepada pihak-pihak NGO.
Mereka juga ada ruang untuk memberikan pandangan mereka, profesional, kepakaran mereka dalam laporan-laporan yang berkenaan dengan spesifik kepada apa yang mereka ingin ulas. Kalau secara umumnya saya rasa mungkin susah, tetapi yang khusus, projek-projek yang khusus iaitu ada ruang untuk mereka ke depan dan mainkan peranan dalam mesyuarat-mesyuarat jawatankuasa teknikal di peringkat JAS.
So, ada juga pada masa yang sama yang di kalangan perunding ini yang berdaftar dengan JAS. So, ruang itu diberi juga kepada mana-mana perunding ataupun pakar untuk berdaftar dengan JAS dan boleh melibatkan diri mereka dalam mesyuarat-mesyuarat di peringkat teknikal. Terima kasih Tan Sri Yang di-Pertua.
Tuan Yang di-Pertua
Baik. Yang Berhormat, sekarang tamatlah sesi untuk Waktu Pertanyaan-pertanyaan bagi Jawab Lisan.
[Sesi Pertanyaan-pertanyaan bagi Jawab Lisan tamat]
Tuan Yang di-Pertua
Ada usul. Silakan Menteri.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) - Tuan M. Kulasegaran a/l V. Murugeson
Tan Sri Yang di- Pertua, “Mengikut Peraturan Mesyuarat 12(1), saya mohon mencadangkan bahawa Mesyuarat pada hari ini tidak akan ditangguhkan sehingga selesai dibahas dan diputuskan Usul Menteri di Jabatan Perdana Menteri seperti di Nombor 1 dalam Aturan Urusan Mesyuarat dan usul-usul hari ini. Selepas itu Majlis Mesyuarat akan ditangguhkan sehingga jam 10 pagi, hari Khamis, 9 Julai 2026.” Terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua
Baik. Ada yang menyokong?
Timbalan Menteri Luar Negeri - Dato Lukanisman bin Awang Sauni
Saya mohon menyokong. Terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua
Baik. Ahli Yang Berhormat, sekarang saya kemukakan masalah kepada Majlis untuk diputuskan. Masalahnya ialah usul seperti yang dikemukakan tadi hendaklah disetujukan.
[Usul dikemukakan bagi diputuskan; dan disetujukan]
Aturan Urusan Mesyuarat dibaca bagi menyambung semula pertimbangan ke atas, “Usul Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana menteri untuk membahaskan Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) bagi Tahun 2024.”
Membuat ketetapan bahawa Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) bagi Tahun 2024 (Kertas Statut 102 Tahun 2026) untuk membahaskan isu-isu dan syor-syor yang terkandung dalam Laporan Tahunan ini; MENGAMBIL MAKLUM bahawa Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia telah menjalankan mandatnya di bawah Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999 [Akta 597] dalam mempromosikan dan melindungi hak asasi manusia di Malaysia sepanjang tahun 2024; MENGIKTIRAF usaha berterusan kerajaan dalam memperkukuh agenda pemajuan, perlindungan dan pematuhan hak asasi manusia melalui kerjasama strategik dengan SUHAKAM, agensi kerajaan serta pihak berkepentingan lain, selaras dengan prinsip Malaysia MADANI; MENYEDARI bahawa penguatkuasaan Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Pindaan) 2024 [Akta A1714], termasuk penubuhan Pejabat Suruhanjaya Kanak-kanak, telah memperkukuh peranan dan fungsi SUHAKAM dalam menangani isu-isu hak asasi manusia yang semakin kompleks; MENYOKONG usaha berterusan SUHAKAM dalam memperkukuh kesedaran awam, pendidikan hak asasi manusia serta penglibatan di peringkat nasional dan antarabangsa, termasuk pengiktirafan Status “A” di bawah Prinsip-prinsip Paris; MENGAMBIL PERHATIAN terhadap kepelbagaian isu hak asasi manusia yang dibangkitkan dalam laporan ini termasuk isu berkaitan hak pekerja, kumpulan rentan, kanak-kanak, wanita, warga emas, orang kurang upaya (OKU), serta isu-isu sosial dan ekonomi yang berkaitan; MENYERU semua pihak agar memberikan perhatian sewajarnya terhadap syor, pandangan dan cadangan yang terkandung dalam laporan tersebut serta memperkukuh kerjasama rentas kementerian dan agensi bagi memastikan pelaksanaannya secara berkesan; dan BAHAWA dalam usaha SUHAKAM melaksanakan mandatnya untuk mempromosi dan melindungi hak asasi manusia di Malaysia, Dewan yang mulia ini menyeru semua pihak agar berganding bahu menyokong kerajaan dalam memastikan syor, pandangan dan cadangan yang terkandung dalam laporan tersebut dapat disahkan dan diluluskan.” [7 Julai 2026]
Tuan Yang di-Pertua
Baik. Saya mempunyai senarai yang agak panjang.
Saya ingin bacakan senarai. Baik, cuma masa yang diberikan kepada setiap pembahas telah pun dipendekkan kepada cuma enam minit sahaja sekarang.
Pembahas selepas ini ialah Batu Gajah, kemudian diikuti dengan Kulim-Bandar Baharu, Tanjong Karang, Beaufort, Arau, Parit, Kampar, Hulu Selangor, Maran, Raub, Kuala Nerus, Kuala Krai, Shah Alam, Rantau Panjang dan pembahas terakhir Tampin. Untuk itu, saya menjemput Batu Gajah, enam minit.
Tuan Sanisvara Nethaji Rayer a/l Rajaji - Jelutong
Tan Sri Speaker. Tan Sri Speaker. Selamat pagi Tan Sri Speaker. Ada isu peraturan saya nak bangkitkan.
Tuan Yang di-Pertua
Peraturan mesyuarat yang mana itu?
Tuan Sanisvara Nethaji Rayer a/l Rajaji - Jelutong
38(1) Tan Sri Speaker.
Tuan Yang di-Pertua
30...
Tuan Sanisvara Nethaji Rayer a/l Rajaji - Jelutong
38(1).
Tuan Yang di-Pertua
38(1)?
Tuan Sanisvara Nethaji Rayer a/l Rajaji - Jelutong
Saya.
Tuan Yang di-Pertua
Baik, apa dia itu?
Tuan Sanisvara Nethaji Rayer a/l Rajaji - Jelutong
Berkenaan dengan usul yang sedang dibahaskan. Peraturannya berbunyi seperti berikut, “Perbahasan atas apa-apa usul, selain daripada usul hendak menangguhkan Majlis Mesyuarat dan perbahasan atas apa-apa rang undang-undang atau pindaan, hendaklah berkaitan dengan usul atau rang undang-undang atau pindaan.” Tan Sri Speaker, kelmarin, daripada kelmarin kita sudah membahaskan usul ini, cumanya bila saya membahaskan usul ini, laporan bedah siasat berkenaan dengan insiden tembakan di Durian Tunggal pada 24 November tidak lagi berada dalam khalayak orang ramai. Laporan itu hanya didedahkan melalui laporan media massa kelmarin. Laporan bedah siasat ke atas M. Puspanathan berusia 21 tahun, T.
Pooneswaran berusia 24 tahun, M. Logeswaran yang berusia 29 tahun yang ditembak di Durian Tunggal.
Cumanya, saya mohon walaupun kita tidak berkesempatan membaca laporan itu, memandangkan ia sudah pun dilaporkan...
Tuan Yang di-Pertua
Yang Berhormat, sebentar ya.
Tuan Sanisvara Nethaji Rayer a/l Rajaji - Jelutong
Ya.
Tuan Yang di-Pertua
Selepas perbahasan ini, akan ada jawapan daripada Menteri-menteri.
Tuan Sanisvara Nethaji Rayer a/l Rajaji - Jelutong
Baik, jadi saya...
Tuan Yang di-Pertua
Saya cadangkan waktu itu Yang Berhormat bangun dan kemukakan soalan Yang Berhormat nak bangkitkan itu waktu Menteri menjawab. Boleh?
Tuan Sanisvara Nethaji Rayer a/l Rajaji - Jelutong
Terima kasih Tan Sri Speaker di atas panduan.
Tuan Yang di-Pertua
Baik. Terima kasih.
Tuan Sanisvara Nethaji Rayer a/l Rajaji - Jelutong
Terima kasih Tan Sri Speaker.
Tuan Yang di-Pertua
Baik. Sila Batu Gajah.
Dr. Sivakumar a/l Varatharaju Naidu - Batu Gajah
Tan Sri Yang di-Pertua, terima kasih kerana memberi peluang kepada saya untuk turut sama mengambil bahagian dalam perbahasan Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia bagi Tahun 2024. Saya ingin merakamkan penghargaan kepada SUHAKAM atas komitmen berterusan dalam mempromosi, melindungi dan memantau hak asasi manusia di negara ini.
Dr. Sivakumar a/l Varatharaju Naidu - Batu Gajah
Saya juga menyambut baik kesediaan Kerajaan MADANI untuk terus memberi ruang kepada laporan seperti ini dibentangkan dan dibahaskan di Parlimen.
Pada hemat saya, laporan ini bukan sekadar menghimpunkan aktiviti tahunan, sebaliknya ia memberi gambaran tentang cabaran hak asasi manusia yang semakin kompleks meliputi pendidikan, kanak-kanak, pekerjaan migrain, ekonomi gig, alam sekitar, data peribadi serta teknologi digital.
Dalam konteks ini SUHAKAM memainkan peranan penting sebagai jambatan antara rakyat, kerajaan dan agensi awam. Laporan tahunan seperti ini bukan sekadar dokumen pentadbiran, tetapi mencerminkan nadi denyutan masyarakat.
[Timbalan Yang di-Pertua (Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor) **mempengerusikan Mesyuarat****] Tuan Yang di-Pertua, salah satu aspek penting yang ingin saya sentuh ialah usaha SUHAKAM memperkukuh pendidikan hak asasi manusia. Pada pandangan saya, perkara ini penting dalam membina masyarakat yang lebih matang, bertanggungjawab dan saling menghormati. Saya mengambil maklum bahawa SUHAKAM telah melaksanakan pelbagai inisiatif pendidikan dan kesedaran termasuk melalui program ATHAM – Amalan Terbaik Hak Asasi Manusia, pertandingan, bengkel latihan serta sesi libat urus dengan sekolah, institusi latihan, agensi penguatkuasaan dan komuniti. Usaha seperti ini wajar disokong kerana kefahaman mengenai hak asasi manusia perlu diterapkan secara berperingkat dalam masyarakat.
Laporan turut menyentuh mengenai ATHAM 2.0 yang bertujuan untuk memperluas pendidikan hak asasi manusia ke sekolah-sekolah di bawah Kementerian Pendidikan dalam tempoh jangka panjang. Sehubungan dengan itu, saya ingin memohon penjelasan mengenai perkembangan terkini perlaksanaan ATHAM 2.0 bersama Kementerian Pendidikan serta bagaimana kerajaan dapat memastikan pendidikan hak asasi manusia dilaksanakan secara seimbang, praktikal dan sesuai dalam konteks Malaysia.
Pendidikan hak asasi manusia tidak wajar dilihat sebagai isu sensitif atau bertentangan dengan nilai tempatan. Sebaliknya, ia adalah sebahagian daripada pendidikan nilai yang menekankan maruah manusia, tanggungjawab warganegara, keharmonian masyarakat dan prinsip keadilan. Oleh itu, kefahaman asas mengenai hak dan tanggungjawab perlu diterapkan secara berhemah dan berlandaskan Perlembagaan Persekutuan serta nilai masyarakat Malaysia.
Berhubung dengan isu pendidikan juga, saya ingin membangkitkan isu kanak- kanak yang dilahirkan di Malaysia tetapi masih menghadapi masalah dokumentasi sehingga dinafikan hak untuk mendapat pendidikan. Ramai daripada mereka telah mencapai umur persekolahan, namun tidak dapat mendaftar ke sekolah kerana ketiadaan dokumen yang lengkap.
Keadaan ini bukan berpunca daripada kesalahan kanak-kanak tersebut, tetapi mereka akhirnya menjadi mangsa keadaan. Mereka kehilangan peluang untuk mendapatkan pendidikan, membina masa depan yang lebih baik dan keluar daripada kitaran kemiskinan. Pada pandangan saya, keadaan ini tidak adil dan tidak berperikemanusiaan.
Sehubungan dengan itu, saya ingin bertanya kepada SUHAKAM, adakah SUHAKAM mempunyai data yang terkini dan terperinci mengenai jumlah kanak- kanak yang terjejas akibat isu dokumentasi ini? Apakah bentuk kerjasama yang tekah dijalinkan antara SUHAKAM dengan kementerian dan agensi kerajaan bagi membantu menyelesaikan masalah ini? Dan yang ketiga apakah syor atau cadangan yang telah dikemukakan oleh SUHAKAM kepada kerajaan untuk memastikan setiap kanak-kanak di Malaysia mendapat akses kepada pendidikan tanpa dinafikan akibat masalah dokumentasi.
Hak untuk mendapatkan pendidikan merupakan hak asasi setiap kanak- kanak. Kita tidak boleh membiarkan mereka menjadi mangsa kelemahan sistem pentadbiran atau pertikaian dokumentasi. Masa depan mereka tidak seharusnya ditentukan oleh masalah yang berada di luar kawalan mereka.
Tuan Yang di-Pertua, pada pandangan saya, kekuatan Laporan Tahunan SUHAKAM bukan hanya terletak pada jumlah program yang telah dijalankan atau aktiviti yang telah direkodkan. Nilai sebenar laporan ini ialah apabila dapatan, teguran dan syor yang dikemukakan dapat membantu kerajaan mengenal pasti ruang penambahbaikan dalam dasar awam dan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
Laporan ini memperlihatkan bahawa SUHAKAM sekadar institusi yang menulis laporan dari pejabat, sebaliknya SUHAKAM mengadakan libat urus, melaksanakan program kesedaran, memantau isu-isu hak asasi manusia dan menyampaikan pandangan kepada agensi berkaitan. Ini menjadikan laporan tahunan SUHAKAM sebagai dokumen yang lahir daripada pemerhatian dan interaksi dengan masyarakat. Dalam hal ini, teguran dan syor daripada SUHAKAM tidak wajar dilihat sebagai kritikan semata-mata, sebaliknya ia harus dilihat sebagai input konstruktif yang boleh membantu kerajaan membina dasar yang lebih adil, seimbang dan berpaksikan rakyat.
Sehubungan dengan itu, saya mencadangkan supaya kerajaan mempertimbangkan satu mekanisme susulan yang lebih tersusun terhadap syor-syor SUHAKAM. Mekanisme ini boleh memperincikan status setiap syor sama ada telah dilaksanakan, sedang dilaksanakan, masih dalam perhatian atau memerlukan kajian lanjut oleh kementerian serta agensi berkaitan.
Saya menyedari bahawa tidak semua syor boleh dilaksanakan secara serta merta. Ada syor-syor yang mungkin memerlukan pindaan undang-undang, implikasi kewangan ataupun penyelarasan antara beberapa kementerian. Namun, apa yang penting ialah wujudnya proses susulan yang jelas supaya syor-syor tersebut tidak terhenti sebagai catatan dalam laporan tahunan sahaja.
Pada masa yang sama, dalam usaha negara merangkul kemodenan, pendigitalan dan reformasi institusi, kita tidak boleh mengabaikan isu-isu teras kepada hak asasi manusia yang masih menyentuh kehidupan rakyat termasuk pendidikan, perlindungan kanak-kanak, hak pekerja, kebajikan golongan rentan, keadaan tahanan dan keadilan dalam perkhidmatan awam.
Tuan Yang di-Pertua, perbahasan laporan ini memberi ruangan kepada kita untuk melihat bagaimana institusi hak asasi manusia negara dapat terus diperkukuhkan agar kekal relevan dengan cabaran semasa dan masa hadapan. Hak asasi manusia wajar dilihat sebagai panduan untuk membantu kerajaan membuat keputusan yang lebih adil, seimbang dan berpaksikan rakyat. Dalam konteks Kerajaan MADANI, pendekatan ini penting untuk memastikan pembangunan negara bukan sahaja diukur melalui pertumbuhan ekonomi, tetapi juga melalui keadilan sosial, maruah insan dan kepercayaan rakyat terhadap institusi awam.
Dengan ini, saya menyokong Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia bagi Tahun 2024 dan berharap agar laporan ini dapat menjadi asas kepada penambahbaikan dasar yang berterusan demi kepentingan rakyat dan negara. Sekian, terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Terima kasih Yang Berhormat Batu Gajah. Selanjut dipersilakan Yang Berhormat Kulim- Bandar Baharu.
Tuan Roslan bin Hashim - Kulim-Bandar Baharu
Baik. Terima kasih Dato' Yang di-Pertua kerana memberi peluang kepada saya untuk turut mengambil bahagian dalam perbahasan Laporan Tahunan SUHAKAM 2024 Dato' Yang di-Pertua, laporan ini memberi gambaran sebenar tentang keadaan negara kita. Ia menunjukkan di mana kelemahan dalam pasaran buruh, bagaimana sistem perlindungan sosial kita berfungsi dan akhirnya bagaimana semua perkara ini memberi kesan kepada ekonomi negara. Sebab itu saya berpandangan isu hak asasi tidak boleh dipisahkan daripada isu ekonomi.
Kalau hak pekerja gagal dilindungi, keyakinan pelabur akan terjejas. Kalau perlindungan sosial lemah, akhirnya kerajaan juga akan terpaksa menanggung kos fizikal yang lebih besar di masa hadapan. Jadi hari ini saya ingin memberi tumpuan kepada dua perkara utama yang saya harapkan dapat penjelasan daripada Kementerian Sumber Manusia dan juga Kementerian Ekonomi.
Pertamanya isu buruh paksa dan kelemahan Akta Kerja 1955. Dato' Yang di- Pertua, kita sering bercakap bahawa Malaysia komited kepada piawaian buruh antarabangsa. Tetapi dalam laporan SUHAKAM sendiri dinyatakan masih terdapat kelemahan dalam Akta Kerja 1955 khususnya seksyen 90B. Masalah ialah seksyen ini terlalu ketat. Undang-undang hari ini menentukan semua elemen buruh paksa dibuktikan serentak sebelum tindakan boleh diambil.
Hakikatnya, eksploitasi buruh pada masa hari ini bukan lagi berlaku secara terang-terangan, ia berlaku secara halus. Kadang-kadang pekerja tidak dipukul tetapi pasport mereka dipegang. Kadang-kadang mereka tidak dikurung tetapi mereka dibebankan dengan hutang yang terlalu tinggi hinggakan tiada pilihan lain selain terus bekerja. Persoalannya, kalau satu bentuk eksploitasi sudah jelas berlaku, mengapa kita masih meletakkan beban pembuktian yang terlalu berat sebelum tindakan boleh diambil. Bukankah ini akhirnya membuka ruang kepada majikan atau ejen yang tidak bertanggungjawab untuk terus terlepas.
Dalam masa yang sama, kita masih mendengar kisah pekerja dari Bangladesh, Nepal dan negara sumber yang datang ke Malaysia dengan hutang sehingga lebih RM50,000. Bayangkanlah mereka datang bukan untuk membina kehidupan yang lebih baik, tetapi terpaksa bekerja bertahun-tahun semata-mata untuk melangsaikan hutang kepada ejen. Kalau keadaan ini berterusan, saya ingin bertanya adakah kita benar-benar mempunyai pasaran buruh yang adil ataupun kita sedang membiarkan satu bentuk perhambaan moden terus berlaku.
Satu lagi perkara mengenai memorandum persefahaman atau MoU antara Malaysia dengan negara-negara sumber pekerja. Mengapa dokumen ini masih begitu sukar diakses sedangkan ia melibatkan dasar awam dan imej negara.
Tuan Roslan bin Hashim - Kulim-Bandar Baharu
Lebih telus sesuatu proses itu lebih mudah untuk rakyat dan Parlimen memastikan hak pekerja benar-benar dipelihara. Justeru, saya ingin mengemukakan tiga cadangan. Pertama, kerajaan perlu segerakan meminda seksyen 90B supaya pembuktian mana-mana elemen eksploitasi sudah memadai untuk membolehkan tindakan yang diambil.
Kedua, MOU pengambilan pekerja asing perlu dipantau oleh Jawatan Pilihan Khas Parlimen supaya dasar Zero Recruitment Free yang benar-benar dilaksanakan bukan sekadar slogan. Ketiga, saya— memandangkan supaya kementerian membangunkan satu indeks pemutuan buruh berpusat yang menggunakan data secara masa nyata bagi mengenal pasti majikan yang berisiko tinggi melakukan eksploitasi.
Tuan Yang di-Pertua, saya juga ingin menarik perhatian kepada satu lagi perkara yang dibangkitkan dalam laporan SUHAKAM iaitu berkaitan hak tanah adat orang asli dan orang asal. Kita sering bercakap tentang pembangunan luar bandar, pembasmian kemiskinan dan pertumbuhan ekonomi yang inklusif tetapi pembangunan tidak akan benar-benar membawa manfaat sekiranya masyarakat yang telah mendiami sesuatu kawasan sejak turun-temurun kehilangan tanah yang menjadi sumber kehidupan mereka.
Laporan SUHAKAM menegaskan bahawa isu pengiktirafan dan pewartaan tanah adat masih belum diselesaikan secara menyuruh. Lebih membimbangkan, pelaksanaan projek pembangunan dan infrastruktur masih berlaku tanpa proses rundingan yang benar-benar memenuhi prinsip persetujuan bebas didahulukan dan termaktub. Akibatnya, terdapat komuniti yang kehilangan tanah pertanian, kawasan rayau dan sumber pendapatan yang menjadi asas kehidupan mereka sejak sekian lama.
Persoalannya, bolehkah sesuatu pembangunan dianggap berjaya sekiranya komuniti asal yang mendiami kawasan tersebut akhirnya terpinggir daripada hasil pembangunan itu sendiri? Pada hemat saya, isu ini bukan sekadar isu hak asasi, ia juga isu pembangunan ekonomi. Tanah adat bukan saja mempunyai nilai, budaya dan warisan, malah menjadi aset ekonomi yang menyokong kehidupan ribuan orang asli dan orang asal.
Justeru, saya ingin mengemukakan dua cadangan. Pertama, Kerajaan Persekutuan perlu mencari mekanisme bersama kerajaan negeri untuk mempercepatkan proses pengiktirafan dan pewartaan tanah adat yang masih tertangguh supaya pertikaian pemilikan dapat diselesaikan secara lebih tuntas.
Kedua, setiap projek pembangunan yang melibatkan tanah komuniti orang asli dan orang asal hendaklah memenuhi sepenuhnya prinsip FPICT dengan proses libat urus yang telus, bermakna dan boleh diaudit. Pembangunan yang mampan bukan hanya diukur melalui jumlah pelaburan atau panjang jalan raya yang dibina, pembangunan yang sebenar ialah apabila masyarakat yang paling hampir dengan tanah tersebut turut menikmati manfaatnya.
Tuan Yang di-Pertua, masyarakat sedang menuju ke arah negara menua.
Persoalannya, adakah kita benar-benar bersedia? Realitinya agak membimbangkan.
Lebih 70 peratus pencarum KWSP yang mencapai umur persaraan tidak mempunyai simpanan yang mencukupi. Dalam keadaan kos secara hidup ini, bantuan RM50 sebulan sudah tentu tidak mampu menampung keperluan asas.
Yang lebih membimbangkan ialah mereka yang bekerja dalam sektor formal, mereka tidak mempunyai pencen, ramai juga yang tidak mempunyai simpanan KWSP. Kalau tidak bertindak sekarang, akhirnya kerajaan juga yang akan menanggung kos yang jauh lebih besar apabila bilangan warga emas turut meningkat.
Kerajaan perlu mula merancang dari sekarang. Pertama, saya menyokong agar syor supaya diwujudkan satu hala tujuh ke arah skim pencen sosial yang lebih menyeluruh bagi memastikan setiap warga emas mempunyai perlindungan asas.
Kedua, Kementerian Ekonomi perlu membentangkan unjuran yang lebih jelas.
Berapa ramai warga emas berisiko miskin menjelang 2030? Berapakah implikasi fizikalnya? Dan, apakah langkah mitigasi yang sedang dirancang?
Ketiga, saya mencadangkan supaya sebahagian penjimatan hasil penyasaran subsidi dimanfaatkan untuk membina sistem perlindungan persaraan yang lebih mampan. Kita perlu beralih daripada bantuan sekali-sekala kepada satu sistem perlindungan sosial yang lebih tersusun, lebih bersasar dan lebih mampan.
Tuan Yang di-Pertua, satu lagi perkara yang turut diberi perhatian serius oleh SUHAKAM ialah isu kewangan, kewarganegaraan dan kanak-kanak tanpa dokumen.
Pada pandangan saya, ini merupakan antara cabaran hak asasi yang paling mendasar. Kerana tanpa kewarganegaraan, seseorang bukan sahaja kehilangan status di sisi undang-undang, malah turut kehilangan akses kepada pelbagai hak sebagai seorang manusia.
Laporan SUHAKAM menunjukkan bahawa isu ini terus menjadi antara aduan tertinggi yang diterima, khususnya di wilayah Sarawak. Antara punca utama kegagalan mendaftar perkahwinan mengikut prosedur yang ditetapkan sehingga menyebabkan anak-anak yang dilahirkan berdepan kesukaran dokumen pengenalan diri. Akibatnya, mereka menghadapi kesukaran memasuki sekolah kerajaan, mendapatkan rawatan di hospital awam serta menikmati pelbagai bentuk perlindungan sosial yang sepatutnya menjadi hak setiap kanak-kanak.
Persoalannya, apakah kesalahan seorang kanak-kanak sehingga mereka perlu menanggung akibat kelemahan pentadbiran yang berlaku di luar kawalan mereka? Jika keadaan ini berterusan, kita bukan sahaja berdepan isu hak asasi, kita juga sedang mewujudkan satu generasi yang berisiko tercicir daripada sistem pendidikan, pasaran pekerjaan formal dan pembangunan negara. Saya berpandangan bahawa isu ini memerlukan pendekatan yang lebih proaktif.
Pertama, Kementerian Dalam Negeri perlu mempercepatkan proses semakan permohonan kewarganegaraan dan pendaftaran kelahiran yang masih tertunggak...
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato' Mohd Nor
Yang Berhormat. Yang Berhormat, panjang lagi kah?
Tuan Roslan bin Hashim - Kulim-Bandar Baharu
Last, saya perabih ni.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato' Mohd Nor
Biaq betui last na.
Tuan Roslan bin Hashim - Kulim-Bandar Baharu
Okey.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato' Mohd Nor
Jangan lagi meleret-leret lagi. Silakan, ini last.
Tuan Roslan bin Hashim - Kulim-Bandar Baharu
Okey, minta maaf Dato’ Speaker. Khususnya di kawasan pedalaman Sarawak. Kedua, kerajaan perlu memperkukuhkan program pendaftaran bergerak dengan kerjasama kerajaan negeri bagi memastikan masyarakat di kawasan pedalaman tidak terus tercicir daripada sistem pendaftaran negara. Terima kasih Dato’ Speaker sebab saya sedia untuk sembilan minit, kelmarin. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato' Mohd Nor
Terima kasih. Saya bagi lebih tu. Dekat berapa empat minit lebih tu. Baik. Berikut, saya persilakan Yang Berhormat Tanjong Karang.
Kapten Dato’ Dr. Zulkafperi bin Hanapi (B) - Tanjong Karang
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato' Mohd Nor
Tadi Yang Berhormat Kulim-Bandar Baharu, saya perasan Yang Berhormat Tanjong Karang dah berdiri lama, dah signal dah. Tapi Yang Berhormat Kulim-Bandar Baharu buat dek je.
[Ketawa] Okey, teruskan Yang Berhormat.
Tuan Roslan bin Hashim - Kulim-Bandar Baharu
Duk tunggu Dato’ Speaker tegur, baru saya berhenti.
Kapten Dato’ Dr. Zulkafperi bin Hanapi (B) - Tanjong Karang
Tuan Yang di-Pertua, laporan SUHAKAM ini bukan sekadar untuk kita raikan. Sebaliknya, ia menuntut audit tatakelola dan akauntabiliti tegas setiap kementerian bagi memastikan setiap syor SUHAKAM benar-benar dilaksanakan oleh agensi kerajaan dan bukan sekadar menjadi perhiasan rak buku.
Seterusnya, izinkan Tanjong Karang ingin membawa lima isu kritikal yang memerlukan penjelasan yang tuntas. Yang pertama, di bawah usaha memperkasa pendidikan dan kesedaran hak asasi manusia, SUHAKAM telah mengemukakan kertas cadangan konsep ATHAM 2.0 – Amalan Terbaik Hak Asasi Manusia di sekolah, untuk kelulusan KPM sejak 17 Mac 2023. Malah, draf kertas mesyuarat profesional yang lengkap dengan pelan perlesenan 10 tahun telah diserahkan kepada KPM pada 25 Jun 2024.
Namun, apa yang mengecewakan, laporan dengan jelas menyatakan birokrasi di KPM masih meneliti kertas tersebut dan ia ditangguhkan pembentangannya. Mengapa program intervensi nilai yang murni ini, yang melibatkan hak kanak-kanak bersandarkan konvensyen mengenai hak kanak-kanak tergantung begitu lama? Sedangkan di peringkat akar umbi, SUHAKAM telah mengedarkan 1,000 salinan buku panduan aktiviti ATHAM ke 468 buah sekolah melalui Bahagian Pendidikan Sekolah Harian.
Mohon Menteri KPM menjawab mengapa proses kelulusan di peringkat pengurusan tertinggi KPM mengambil masa sehingga dua tahun? Apakah ada rintangan ideologi atau sekadar kelembapan birokrasi? Anak-anak kita perlukan penerapan nilai ini sekarang, bukan selepas mereka tamat persekolahan.
Isu kedua; hak ekonomi, sosial dan budaya orang asli di Borneo. Laporan SUHAKAM secara berani menegaskan bahawa undang-undang domestik sedia ada seperti Sarawak Land Code masih tidak menjamin hak adat secara menyeluruh.
Undang-undang ini dilihat lebih mengutamakan pemilikan negeri dan kepentingan korporat ekonomi berbanding warisan nenek moyang mereka. Lebih membimbangkan, SUHAKAM menggariskan risiko eksploitasi wilayah orang asal menerusi projek guna tanah baru dan inisiatif perdagangan karbon (carbon trading) dengan izin. Projek-projek ini dilaporkan berjalan tanpa perundingan telus dan tanpa persetujuan awal secara bebas, bermaklumat dan telus seperti yang digariskan di bawah deklarasi PBB mengenai hak orang asal.
Kapten Dato’ Dr. Zulkafperi bin Hanapi (B) - Tanjong Karang
Persatuan-persatuan seperti SADIA, DOPPA dan PENA merintih tentang pampasan tanah yang tidak mencukupi dan infrastruktur rumah panjang yang begitu daif. Saya mendesak, apakah pelan strategik kerajaan untuk memastikan dasar ekonomi hijau negara, seperti pasaran karbon, tidak menindas dan merampas hak komuniti rentan ini? Pembangunan tidak boleh mengorbankan manusia.
Isu ketiga― isu kewarganegaraan di bawah KDN. SUHAKAM dan Pejabat Pesuruhjaya Kanak-kanak secara konsisten dan tegas menentang pindaan regresif terhadap peruntukan kewarganegaraan dalam Perlembagaan Persekutuan. Pindaan regresif ini dibimbangi akan memburukkan lagi kedudukan kanak-kanak dan golongan tanpa kewarganegaraan (stateless), dengan izin.
Komitmen SUHAKAM mempertahankan isu ini begitu serius sehingga mereka telah menyerahkan memorandum sembah maklum terus kepada Majlis Raja-Raja. Apabila badan hak asasi rasmi negara ditubuhkan, di bawah Akta Parlimen sendiri melabelkan pindaan perundangan yang dibawa oleh pihak eksekutif sebagai regresif, kerajaan tidak boleh pekakkan telinga atau berpeluk tubuh sahaja.
Saya minta KDN menyatakan sejauh mana pandangan dan memorandum sembah maklum daripada SUHAKAM ini diperhalusi sebelum sebarang langkah perundangan muktamad diambil. Kita tak mahu kononnya menutup satu lubang masalah tetapi pada masa yang sama membuka 10 lagi lubang ketidakadilan sosial kepada anak-anak tanpa dokumen di Sabah, Sarawak dan Semenanjung.
Isu yang keempat, reformasi sistem keadilan jenayah di bawah KDN. Pada 26 Jun 2024, SUHAKAM dengan kerjasama Association for the Prevention of Torture
(APT) telah melancarkan program pengenalan Prinsip Mendez, atau prinsip temu bual berkesan untuk penyiasatan dan pengumpulan maklumat. Prinsip antarabangsa ini bertujuan menamatkan amalan soal siasat lapuk berbentuk paksaan, kekerasan atau penyeksaan oleh pihak berkuasa, lalu mengubahnya kepada kaedah temu bual berasaskan hubungan baik, rapport building, dengan izin, dan sains psikologi.
Memandangkan bahagian aduan dan pemantau SUHAKAM masih sarat menerima aduan kes salah laku pihak berkuasa dan isu kematian dalam tahanan, saya ingin bertanya kepada Ministry Dalam Negeri, adakah pihak kementerian bersedia untuk mengadaptasi dan menginstitusikan Prinsip Mendez ini secara rasmi sebagai SOP wajib dalam kurikulum latihan di PULAPOL, AADK, depot tahanan imigresen? Pemodenan kepolisan bukan sekadar pada gajet tapi pada etika dan cara kita melakukannya.
Perkara terakhir adalah hak udara bersih dan keadilan iklim. Poin terakhir saya ini ialah kejayaan SUHAKAM menerbitkan laporan komprehensif bertajuk Silent Enemy. Laporan ini membawa dimensi baharu yang mendesak agar Malaysia mengiktiraf hak kepada udara bersih sebagai salah satu hak asasi manusia yang fundamental. Isu alam sekitar kini bukan sekadar isu pokok dan sains semata-mata.
Ia adalah isu keadilan iklim yang memberi impak sosioekonomi yang paling teruk kepada golongan marhaen dan miskin.
Akhirnya, sebagai penutup, Laporan SUHAKAM 2024 ini dengan jelas membuktikan bahawa usaha mempertahankan maruah, kesaksamaan dan keadilan menuntut ketekunan serta integriti semua pihak. Kita tidak boleh membiarkan SUHAKAM bekerja sendirian bagai melukut di tepi gantang sementara agensi-agensi kerajaan terus berlindung di balik tembok birokrasi dan memberi alasan kekurangan kapasiti.
Sekian. Tanjong Karang mohon menyokong. Terima kasih Tuan Yang di- Pertua.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Terima kasih Yang Berhormat Tanjong Karang. Dipersilakan Yang Berhormat Beaufort.
Datuk Hajah Siti Aminah binti Aching - Beaufort
Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Terima kasih Dato’ Yang di-Pertua kerana memberi peluang kepada saya membahaskan Laporan Tahunan Penyata Kewangan SUHAKAM 2024.
Saya merakamkan penghargaan kepada SUHAKAM atas komitmen berterusan dalam melaksanakan mandat mempromosi dan melindungi hak asasi manusia di negara ini. Laporan ini bukan sekadar memenuhi kehendak undang- undang malah menjadi kayu ukur terhadap tahap tadbir urus, keadilan dan penghormatan negara terhadap hak setiap warganegara. Laporan ini turut mengangkat pelbagai isu penting termasuk sosioekonomi, reformasi undang- undang, hak sivil dan politik, hak anak-anak serta perlindungan golongan rentan.
Justeru, saya ingin menumpukan perbahasan kepada beberapa perkara yang memerlukan perhatian dan tindakan segera daripada pihak kerajaan.
Yang pertama, saya ingin membangkitkan keperluan meneliti semula syarat notis awal sebelum SUHAKAM menjalankan lawatan ke tempat tahanan, khususnya menjalankan penilaian GANHRI 2026. Walaupun alasan keselamatan sering dikemukakan, notis awal boleh menjejaskan objektif pemantauan kerana keadaan di lokasi berisiko diubah terlebih dahulu sekali gus mengaburkan gambaran sebenar terhadap keadaan tahanan.
Pengalaman antarabangsa menunjukkan bahawa lawatan tanpa notis selaras dengan Prinsip Paris dan menjadi penanda aras penting kredibiliti NHRI, amalan di Filipina dan Pakistan juga membuktikan ia boleh dilaksanakan tanpa menjejaskan keselamatan atau ketertiban. SUHAKAM sendiri mengakui pindaan Akta SUHAKAM 2024 belum membawa perubahan terbesar dalam perkara ini.
Justeru, saya menyeru tindakan segera mempercepat penggubalan garis panduan lawatan bersama BHEUU, mewujudkan kategori lawatan berisiko tinggi yang dikecualikan daripada notis awal dan menjadikan isu ini agenda utama rundingan SUHAKAM dengan kerajaan sebagai sebahagian daripada persediaan GANHRI 2026.
Dato’ Yang di-Pertua, kedua, saya ingin menarik perhatian kepada peningkatan ketara aduan hak asasi manusia yang diterima oleh SUHAKAM. Pada tahun 2024, sebanyak 1,074 aduan diterima iaitu jumlah tertinggi dalam tempoh lima tahun, meningkat daripada 649 aduan pada tahun 2023. Daripada jumlah itu, 867 aduan disahkan melibatkan perlanggaran hak asasi manusia. Namun, hanya 356 atau 41 peratus berjaya diselesaikan.
Lebih membimbangkan, aduan tertinggi melibatkan hak mendapatkan suaka dan status pelarian, diikuti hak kanak-kanak kepada taraf kehidupan yang mencukupi. Keadaan ini menunjukkan bahawa golongan paling rentan masih berdepan kesukaran untuk mendapatkan perlindungan dan juga keadilan sewajarnya.
Justeru, saya mencadangkan agar kerajaan menetapkan tempoh masa yang wajib dipatuhi oleh setiap agensi untuk memberi maklum balas kepada SUHAKAM dan, pada masa yang sama, agensi yang gagal mematuhi tempoh tersebut wajib disenaraikan dalam laporan tahunan SUHAKAM sebagai langkah memperkukuh akauntabiliti dan memastikan setiap aduan mendapat tindakan yang berkesan, bukan sekadar direkodkan.
Tuan Yang di-Pertua, Laporan Tahunan SUHAKAM 2024 merekodkan 42 aduan diterima oleh Pejabat Pesuruhjaya Kanak-kanak dengan kategori tertinggi melibatkan hak kepada dokumen pengenalan diri dan kewarganegaraan.
Saya mengalu-alukan pindaan Perlembagaan 2024 yang memberi hak kewarganegaraan kepada anak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia. Namun, pindaan ini belum menyelesaikan isu utama yang dibangkitkan oleh SUHAKAM iaitu nasib kanak-kanak yang ditinggalkan tanpa sijil kelahiran atau dokumen pengenalan diri. Walaupun dibesarkan oleh keluarga angkat warganegara Malaysia, mereka masih perlu memohon kewarganegaraan di bawah Perkara 15A, satu proses yang mengambil masa lama dan bergantung kepada budi bicara Menteri.
Justeru, saya mencadangkan agar kerajaan mewujudkan mekanisme khas dengan tempoh pemprosesan yang jelas bagi permohonan kewarganegaraan kanak-kanak tanpa dokumen, memperkukuh Jawatankuasa Khas Status Kewarganegaraan serta mempercepatkan penyelesaian semua kes tertunggak.
Dato’ Yang di-Pertua, Malaysia telah meratifikasikan Konvensyen Hak Kanak- kanak (CRC) sejak tahun 1995. Oleh itu, memastikan setiap kanak-kanak mempunyai identiti dan kewarganegaraan bukan sekadar memenuhi komitmen antarabangsa tetapi juga menjamin masa depan mereka sebagai sebahagian daripada negara ini.
Dato’ Yang di-Pertua, tuntasnya, hak asasi manusia merupakan asas kepada pembentukan sebuah negara yang adil, berperikemanusiaan dan diyakini rakyat.
Datuk Hajah Siti Aminah binti Aching - Beaufort
Justeru, Beaufort berharap segala syor SUHAKAM diterjemahkan kepada dasar, pindaan undang-undang dan tindakan yang benar-benar memberi manfaat kepada rakyat. Marilah kita memastikan setiap dasar yang digubal bukan sahaja mematuhi undang-undang, malah berteraskan prinsip keadilan, kemanusiaan dan juga kesejahteraan rakyat. Sekian, terima kasih. Beaufort mohon menyokong.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato' Dr. Ramli bin Dato' Mohd Nor
Terima kasih Yang Berhormat Beaufort.
Datuk Hajah Siti Aminah binti Aching - Beaufort
Yang di-Pertua, saya ingin mengambil kesempatan untuk mengalu-alukan kehadiran guru-guru dan juga pelajar-pelajar Kolej Tingkatan 6 Tunku Mukhriz, Seremban yang diatur oleh YB Rasah. Terima kasih Yang di-Pertua.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato' Dr. Ramli bin Dato' Mohd Nor
Terima kasih Yang Berhormat. Dipersilakan Yang Berhormat Arau.
Dato' Seri Dr. Shahidan bin Kassim - Arau
Terima kasih Tuan Yang di- Pertua. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato' Dr. Ramli bin Dato' Mohd Nor
Waalaikumussalam.
Dato' Seri Dr. Shahidan bin Kassim - Arau
Rakyat Malaysia, orang-orang muda semua. SUHAKAM. Kita bercakap fasal SUHAKAM tetapi kita kena ingat, pergantungan supaya SUHAKAM buat macam-macam, pelbagai perkara. Ada perkara yang kita tengok melanggar hak asasi kemanusiaan, kita minta SUHAKAM.
Tetapi kita tahu apakah SUHAKAM?
SUHAKAM ini ialah satu badan yang ditubuhkan di seluruh dunia. Ada badan yang sama. Contohnya macam di Indonesia, Komisi Nasional Hak Asasi Manusia.
Filipina, Commission on Human Rights. Australia, Australian Human Rights Commission. Thailand, The National Human Rights Commission of Thailand.
Cambodia, The Cambodia Human Rights Committee. Jadi, apabila kita nak bercakap fasal Rohingya nanti, saya nak beritahu, bukan sahaja diperjuang oleh SUHAKAM tapi negara-negara lain pun ada committee berhubung dengan national human rights institution.
Tahap kuasa, SUHAKAM tidak ada kuasa. Dia boleh menyiasat dan membuat inquiry awam sahaja dan memberi syor kepada kerajaan. Di Indonesia, tidak ada kuasa dakwa secara langsung tetapi bertindak sebagai penyiasat utama untuk kes pelanggaran hak. Filipina, tidak ada kuasa dakwa penuh tetapi mempunyai kuasa judicial untuk memohon perintah mahkamah. Ini ialah dia punya tahap- tahapnya. Makna kata, di negara-negara lain ada tahap yang lebih daripada sederhana. Malaysia ini dianggap sebagai di pihak sederhana.
Sebelum kita cakap kepada SUHAKAM, kita kena perkuatkan SUHAKAM.
SUHAKAM kita tengok, peruntukan yang dibagi oleh kerajaan. Saya tak dapat maklumat sepenuhnya, mungkin dalam RM13 ke RM15 juta untuk buat operasi. Saya cadangkan dinaikkan kepada RM20 juta untuk membolehkan— Timbalan Menteri yang akan menjawab kejap lagi tolong tengok. Dinaikkan RM20 juta untuk membolehkan mereka buka cawangan.
Sekarang ini ada di KK, Kuching dan juga Kuala Lumpur. Buka cawangan di Johor, di Selangor. Perlis boleh combine dengan Kedah, no problem. Buka cawangan. Bagi sikit peruntukan tambahan dan Ahli Suruhanjaya dalam kadar elaun yang begitu rendah, saya ingat dinaikkan sedikit untuk membolehkan mereka bergerak dengan lebih cergas. Walaupun mereka buat kerja ini sebahagian besarnya secara sukarela tetapi mereka hendaklah dibagi elaun yang berpatutan. Dengan itu, kita boleh bergantung harap kepada SUHAKAM.
Jadi, SUHAKAM yang pertama, tugasnya ialah tentang kemanusiaan. Jadi, di antara orang yang bercakap tentang SUHAKAM ini, kami Ahli Parlimen. Ahli Parlimen bercakap tentang pelbagai perkara, terutamanya membawa maklumat daripada SUHAKAM, kita bawa ke Parlimen. Kami nak mengadu kepada SUHAKAM bahawa kami Ahli Parlimen ini ada dua kelas.
Ahli Parlimen Malaysia ini ada dua kumpulan. Dua kelas. Kelas kerajaan, kelas bukan kerajaan. Pembangkang dan juga kerajaan. SUHAKAM tengok ini. Ini melanggar hak asasi manusia— yang langgar hak asasi manusia, kerajaan, Menteri iaitu dengan tidak memberi peruntukan kepada Ahli-ahli Parlimen pembangkang.
Betul tak? Tepuk tangan, bagus.
Ahli Parlimen pembangkang tidak ada peruntukan and then, kami disuruh masuk Select Committee, Jawatankuasa. Saya baru hadir Jawatankuasa Kemanusiaan. Saya duduk dalam Jawatankuasa Kemanusiaan dalam saya sendiri dihina sebagai Ahli Parlimen. Tidak dibagi peruntukan. Merangkak kami. Kami terpaksa meminjam sana sini untuk meneruskan kehidupan. Ini adalah satu perbuatan yang tidak adil. SUHAKAM boleh buat macam-macam kajian. Buat kajian di Parlimen dan bagi syor kepada kerajaan.
Kerajaan pada Ismail Sabri dulu bagus. Bera, sorry ya. Bagus sebab dia bagi peruntukan semua sama pada ahli pembangkang. Macam mana boleh jadi bagus?
Tak apa. Terima kasih. Tapi malangnya, kerajaan sekarang tak ikuti, walaupun perjuangan utama kerajaan sekarang–– PMX berjuang habis-habisan, bagi hak sama rata, sama rasa. Tapi bila dia memerintah, ha, dia seorang merasa. Kami tak merasa. Ini adalah perbuatan yang cukup zalim. SUHAKAM kena siasat.
Kedua ialah berhubung dengan orang asli.
Datuk Haji Awang bin Hashim - Pendang
Arau. Arau, minta pencelahan.
Arau, minta pencelahan, Pendang.
Dato' Seri Dr. Shahidan bin Kassim - Arau
Siapa dia? Kejap lagi. Siapa dia ini?
Datuk Haji Awang bin Hashim - Pendang
Arau, Pendang.
Dato' Seri Dr. Shahidan bin Kassim - Arau
Oh, awai. Jangat awai sangat.
Datuk Haji Awang bin Hashim - Pendang
Terima kasih Dato' Yang di- Pertua. Saya nak tanya, dulu kita punya Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, masa dia jadi pembangkang, dia berjanji akan menghapuskan kezaliman. Akan menegakkan keadilan tetapi ada peruntukan sebahagian daripada kezaliman, sepatutnya dia bagi kepada MP-MP kita. Sekian, terima kasih.
Dato' Seri Dr. Shahidan bin Kassim - Arau
Ya. Sebahagian daripada ucapan saya–– masuk dalam ucapan saya. Terima kasih Awang. Lama tak nampak, mana pergi? Mari tajuk ini balik. Keadilan sekarang ini bukan sahaja di Malaysia. Di dunia pun berlaku ketidakadilan. Piala Dunia pun ketidakadilan. Orang yang dibagi kad merah, dibenar main. Orang dah masuk— bola dah masuk–– semalam, Egypt.
Dia masuk bola, dibatalkan. Itu lah Piala Dunia.
Dunia pun ada masalah. Padahal, dalam semua–– rakyat Malaysia semua menyokong Argentina, saya dengan hebat mempertahankan Egypt. Saat 80 minit, 10 minit sebelum habis, Argentina bagi dia tiga. Tak apa. Saya kira dia dah menang.
Okey. Dah bagi dua biji, saya ingat orang sakit jantung kerana melihat kehebatan Egypt.
Okey, baik. Tajuk ini balik, orang asli. Saya banyak benda yang cakap fasal orang asli. Saya nak cakap satu benda sahaja. Sekarang ini tindakan mesti diambil kepada pencerobohan tanah orang asli. Macam di Pahang, kurang-kurangnya di satu tempat. Saya tak pasti, mungkin di Rompin. Tanah orang asli telah diceroboh tetapi Yayasan Pahang telah ambil balik kawasan itu dan hasilnya dibagi sama rata sebagai saham kepada orang asli. Banyak lagi tempat, termasuk di Lojing, kawasan sayur. Bukan sahaja mereka ceroboh, tanah kubur orang asli pun diceroboh. Hat yang itu, kerajaan kena ambil tindakan serta-merta. Ini tanah kubur orang asli, yang kita tahu bahawa ini kubur. Saya tahu kubur orang asli ini, kalau tanah rendah punya itu, kita tahu itu kubur orang asli. Itu diceroboh.
Kita tahu bila mereka ceroboh, orang asli dalam keadaan mereka nak pertahan apa, hanya mereka boleh membuat demonstrasi dan sebagainya. Tetapi kerajaan kena ambil tindakan dan sebahagian daripada penceroboh ini bukan orang Malaysia. Orang luar ataupun orang Malaysia ceroboh, orang luar bagi modal.
Akhirnya, mereka bertanam-tanam sayur secara berleluasa di Lojing dan juga di Cameron Highlands.
Ambil tindakan kepada tanah yang telah diceroboh. Hal-hal yang lain itu, serah kepada orang lain untuk gazet dan sebagainya. Tapi kawasan yang diceroboh ini, tanah itu kalau sudah mendapatkan hasil, hasil itu hendaklah dibagi kepada yayasan negeri, yayasan negeri bagi balik kepada orang asli. Itu cara yang paling cepat untuk kita mendapat manfaat. Kita perjuang dari segi undang-undang boleh, tetapi lambat. Yang ini, tanah dah ada. Hasil dah ada. Boleh kita dapat pendapatan.
Datuk Haji Awang bin Hashim - Pendang
Arau, sekali lagi minta. Saya nak bagi maklumat. Arau, tentang orang asli.
Dato' Seri Dr. Shahidan bin Kassim - Arau
Boleh.
Datuk Haji Awang bin Hashim - Pendang
Sila. Okey. Terima kasih Dato' Yang di-Pertua.
Dato' Seri Dr. Shahidan bin Kassim - Arau
Boleh, boleh. Ini orang asli.
Datuk Haji Awang bin Hashim - Pendang
Ya, terima kasih. Di Endau...
Timbalan Yang di-Pertua - Dato' Dr. Ramli bin Dato' Mohd Nor
Sebentar.
Sebentar. Sebentar. Yang Berhormat Arau, saya hanya benarkan pencelahan yang terakhir.
Dato' Seri Dr. Shahidan bin Kassim - Arau
Satu sahaja.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato' Dr. Ramli bin Dato' Mohd Nor
Lepas ini, gulung dan tutup.
Dato' Seri Dr. Shahidan bin Kassim - Arau
Ya, lepas ini, gulung ya.
Datuk Haji Awang bin Hashim - Pendang
Terima kasih Dato' Yang di- Pertua. Orang asli di Endau putus harapan. Tidak boleh bergantung kepada siapa- siapa. Sehingga dalam Pilihan Raya Negeri Johor, mereka terpaksa melantik seorang untuk bertanding di DUN Endau ini bagi membela orang asli, yang mana mereka tidak dibela. Harapan mereka kepada Kerajaan Pakatan Harapan, sampai sekarang tak ada apa-apa pembelaan kepada orang asli. Di DUN Endau. Mereka bertanding sekarang. Orang asli, komuniti orang asli cadang seorang daripada calon daripada orang asli bertanding di DUN Endau, nak beritahu mereka dah putus harapan. Tidak ada pembelaan terhadap mereka orang asal ini. Terima kasih.
Dato' Seri Dr. Shahidan bin Kassim - Arau
Ya, orang asli.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato' Dr. Ramli bin Dato' Mohd Nor
Sila gulung, Yang Berhormat.
Dato' Seri Dr. Shahidan bin Kassim - Arau
Eloklah bersama dengan PN dan juga BN ya. Okey, balik tajuk ini balik. Tetapi saya nak beritahu, kita boleh tengok balik, banyak tempat yang telah diceroboh. Tidak diwartakan tapi telah dimasukkan, ditandakan dalam tanah kerajaan iaitu ialah tanah reserve orang asli. Jadi, yang itu banyak yang diceroboh kita dan telah mendapat hasil. Kita boleh dapat hasil semula melalui yayasan-yayasan negeri supaya ambil balik dan kita agihkan kepada orang asli.
Dato' Seri Dr. Shahidan bin Kassim - Arau
Jadi, kita menyokong apa-apa sahaja usaha orang asli dan kita berharap apa yang kita buat ini dapat membantu orang asli. Kita tak boleh biar benda ini berterusan. Dah lama dah kita bercakap tetapi kita tak capai sepenuhnya.
Akhir sekali, sebagai mana yang telah janji dengan Speaker ialah berhubungan gig ekonomi. Gig ekonomi ini kesian kepada mereka yang bekerja kadang-kadang 16 jam satu hari. Kadang-kadang mereka cuma di terminate kerana orang complained sahaja. Jadi, gig ekonomi kena dibagi perhatian yang lebih serius.
Dan juga di bawah SUHAKAM yang kita sebut fasal Rohingya. Rohingya kerana mulut seorang wanita. Mungkin saya tak tahu— mungkin dia Rohingya.
Sekarang dia duduk di Australia ke di mana-mana. Cari ini orang yang telah menyebabkan— saya ingat orang timbul syak wasangka pada Rohingya kerana mulut ini, padahal orang yang paling banyak memberi layanan yang baik kepada Rohingya ialah orang Malaysia.
Orang daripada— orang yang UNHCR keluarkan kad di Indonesia, di Philippines, di Cambodia, di Thailand, semua lari ke Malaysia, padahal mereka juga ada human right tetapi apa yang...
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Yang Berhormat.
Dato’ Seri Dr. Shahidan bin Kassim - Arau
...Jadi, sekarang ini kenapa semua lari ke Malaysia? Ini menunjukkan bahawa Malaysia bagus. Tetapi saya ingat SUHAKAM kena tengok benda ini bahawa sebenarnya Malaysia yang terbaik dibandingkan dengan semua negeri-negeri yang berkenaan yang hanya bagi kad tetapi tak bagi perlindungan seperti yang dibagi oleh Kerajaan Malaysia.
Tetapi kalau sekiranya sekarang ini apa yang jadi...
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Yang Berhormat, 30 saat lagi saya tutup mic.
Dato’ Seri Dr. Shahidan bin Kassim - Arau
...Kalau saya jadi Menteri, 150,000. Sekarang 250,000. Apa dah jadi dengan dunia ini? Meningkat, meningkat.
Kita kena ambil tindakan yang sewajar. Terima kasih Speaker yang juga apa yang hebat dan dahsyat. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
[Ketawa] Terima kasih Yang Berhormat Arau. Yang Berhormat Parit, dipersilakan.
Tuan Haji Muhammad Ismi bin Mat Taib - Parit
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan selamat tengah hari. Terima kasih Dato’ Yang di- Pertua kerana memberikan ruang dan peluang kepada saya untuk turut serta membahaskan Kertas Statut 102 Tahun 2026 iaitu Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) bagi tahun 2024.
Sebelum saya menyentuh perincian laporan ini, izinkan saya membuka ucapan saya dengan membacakan ayat Allah SWT [Membaca sepotong ayat al- Quran] “Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu menjadi orang-orang yang benar-benar penegak keadilan, menjadi saksi yang memperkatakan kebenaran kerana Allah walaupun terhadap dirimu atau ibu bapa mu atau kepada kaum kerabat mu”. Dato’ Yang di-Pertua, ayat ini bukan sekadar seruan moral tetapi asas kepada satu prinsip yang Parit percaya amat relevan kepada perbahasan hari ini.
Bahawa keadilan atau al-‘Adl dan pemuliaan maruah insan, karamatul insan bukan konsep import dari Barat tetapi teras yang telah lama wujud dalam tamadun Islam.
Jauh sebelum wacana hak asasi manusia moden diformalkan menerusi pengisytiharan hak asasi manusia sejagat pada tahun 1948.
Parit membangkitkan perkara ini kerana Parit sedar di kalangan sebahagian masyarakat kita masih ada anggapan bahawa hak asasi manusia adalah wacana asing yang bercanggah dengan nilai-nilai agama dan budaya tempatan. Parit berdiri di sini hari ini untuk menegaskan sebaliknya bahawa memperjuangkan hak asasi manusia adalah sebahagian daripada maqasid syariah iaitu perlindungan agama.
Hifz al-Din, nyawa, Hifz al-Nafs, begitu juga akal, Hifz al-'Aql, Hifz al-Nasl, menjaga keturunan, dan Hifz al-Mal, menjaga harta. Ini dharuriyyat al-khams, perkara dharuriyyat yang lima. Apabila SUHAKAM memperjuangkan hak kanak- kanak, hak orang asal, hak golongan rentan dan maruah golongan tahanan, mereka sebenarnya telah menegakkan objektif-objektif inilah. Objektif yang sepatutnya turut menjadi keutamaan kita sebagai pembuat dasar di dalam Dewan yang mulia ini.
Dato’ Yang di-Pertua, izinkan saya menyentuh beberapa perkara substantif dalam laporan ini. Pertamanya, berkaitan dengan statistik aduan dan pemantauan.
Laporan SUHAKAM menunjukkan bahawa telah menerima sebanyak 1,074 aduan sepanjang tahun 2024. Dan setelah siasatan, sebanyak 867 aduan disahkan sebagai pelanggaran hak asasi manusia.
867 aduan disahkan sebagai pelanggaran hak asasi manusia iaitu 696 di ibu pejabat Kuala Lumpur, 58 di pejabat Sabah dan 113 di pejabat Sarawak. Yang membimbangkan saya Dato’ Yang di-Pertua, hanya 41 peratus sahaja iaitu 356 kes sahaja daripada jumlah ini yang berjaya diselesaikan sepanjang tahun. Bakinya masih dalam siasatan atau menunggu maklum balas agensi berkaitan.
Angka ini penting bukan sekadar sebagai statistik tetapi sebagai cerminan penderitaan sebenar rakyat, golongan tahanan, pelarian, orang asal, kanak-kanak yang menunggu-nunggu keadilan. Dalam Islam, kelewatan menegakkan hak seseorang bukanlah perkara kecil.
Sabda Nabi SAW diriwayatkan oleh Ibn Majah [Membaca sepotong hadis] “Berikanlah kepada pekerja upahnya sebelum kering peluhnya”. Sebuah peringatan bahawa penangguhan hak walaupun sekecil mana adalah suatu bentuk kezaliman.
Maka, saya menyeru kementerian yang berkaitan supaya mempercepatkan tindakan kepada rujukan dan syor SUHAKAM supaya kadar penyelesaian aduan dapat dipertingkatkan pada tahun-tahun akan datang.
Kedua, kedudukan kewangan SUHAKAM satu kebimbangan serius saya.
Jika diteliti pada Jadual 19 dan 20 dalam laporan ini, terdapat trend yang wajar mencemaskan kita semua. Aset bersih SUHAKAM telah merosot secara mendadak daripada RM4.74 juta pada tahun 2021 kepada hanya RM1.53 juta, 2024 iaitu penurunan sebanyak 67 peratus dalam tempoh tiga tahun. Suruhanjaya turut mencatatkan kekurangan defisit operasi sebanyak RM1.84 juta pada tahun 2024. Ini keadaan yang merunsingkan kita.
Yang ketiga Dato’ Yang di-Pertua berkaitan hak orang asal dan orang asli.
Laporan turut menegaskan bahawa hak tanah adat orang asal masih tidak terjamin dengan undang-undang seperti Sarawak Land Code lebih mengutamakan pemilikan negeri berbanding tuntutan warisan turun temurun. Isu ini turut dikaitkan dengan risiko eksploitasi wilayah asal menerusi inisiatif perdagangan karbon tanpa perundingan yang telus.
Dato’ Yang di-Pertua dalam fiqh Islam, konsep pemilikan tanah dan hak masyarakat setempat, huququl jiwar dan ihya’ al-mawat dengan izin, sentiasa mengiktiraf hubungan sejarah dan sosial sesuatu kaum dengan tanah yang mereka duduki serta usahakan secara turun temurun. Islam telah menggariskan perkara ini awal-awal lagi. Justeru, saya menyokong sepenuhnya syor SUHAKAM agar Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri memperkukuhkan rangka undang- undang selaras dengan United Nations Declaration of the Rights Indigenous Peoples
(UNDRIP) yang telah pun Malaysia sokong pada tahun 2027.
Sebagai penutup Dato’ Yang di-Pertua, saya ingin mengulang bahawa perjuangan hak asasi manusia dan penghayatan agama bukanlah landasan yang bertentangan tetapi dua jalan yang menuju destinasi yang sama iaitu keadilan, maruah, kesejahteraan insan. Rasulullah SAW sendiri dalam khutbah yang terakhir Baginda di Padang Arafah telah menggariskan prinsip kesaksamaan sejagat. Sabda Nabi [Membaca sepotong hadis] “Tiada ada kelebihan bangsa Arab dan bangsa bukan Arab atau bangsa bukan Arab ke atas Arab kecuali dengan takwa demikian juga warna kulit, tidak ada beza”. Ini adalah asas hak asasi manusia di dalam erti kata yang paling tulen.
Justeru, saya menyeru Dewan yang mulia ini agar menerima Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan SUHAKAM ini bukan sekadar sebagai dokumen rutin untuk dicatat masuk tetapi sebagai cerminan yang memperlihatkan kepada kita di manakah kedudukan sebenar negara kita dalam usaha melindungi golongan rentan dan sebagai seruan tindakan supaya kerajaan memperkukuhkan lagi sokongan kewangan dan institusi kepada SUHAKAM agar ia terus mampu berdiri sebagai badan bebas yang menyuarakan kebenaran walaupun kepada pihak berkuasa sekalipun.
Dengan itu, saya menyokong kertas ini dibentang dan dibahaskan dengan sewajarnya. Sekian, Dato’ Yang di-Pertua. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Terima kasih Yang Berhormat. Dipersilakan Yang Berhormat Kampar.
Tuan Chong Zhemin - Kampar
Terima kasih Timbalan Speaker. Mohon boleh bagi kelonggaran sedikit sebab saya sudah sediakan perbahasan selama sembilan minit dan saya ada sentuh tentang hak orang asli. Terima kasih Timbalan Speaker.
Saya mahu membawa tiga isu utama. Pertama, hak orang asli terhadap tanah, hutan dan air. Kedua, hak kesihatan rakyat dalam isu HIV, AIDS. Ketiga, perlindungan kanak-kanak daripada jenayah seksual.
SUHAKAM dalam laporan ini menegaskan bahawa hak asasi manusia bukan hanya tentang kebebasan politik. Ia juga tentang hak ekonomi, sosial dan kebudayaan. SUHAKAM memberi perhatian kepada isu buruh paksa, ekonomi gig, pelarian, kanak-kanak, orang asal dan orang asli, warga emas, OKU dan pekerja migran.
Tuan Chong Zhemin - Kampar
SUHAKAM juga menyebut isu tanah adat ,tahanan, diskriminasi dan salah laku pihak berkuasa sebagai sebahagian daripada kerja pemantauan mereka. Jadi, apabila kita bahas laporan ini, kita tidak boleh bercakap secara umum sahaja, kita mesti tanya isu mana yang masih gagal ditangani. Kita juga mesti berani menegur apabila pihak tertentu hanya bercakap tentang hak rakyat secara terpilih.
Timbalan Speaker, saya mula dengan isu orang asli. Laporan SUHAKAM menyatakan bahawa masyarakat orang asal dan orang asli, masih berdepan cabaran berkaitan tanah, identiti dan penyertaan dalam pembangunan. Hak tanah adat masih tidak terjamin, SUHAKAM juga menyebut risiko projek guna tanah dan perdagangan karbon yang boleh menjejaskan wilayah orang asal tanpa rundingan dan persetujuan yang telus. Komuniti turut berdepan isu pampasan tanah tidak mencukupi, infrastruktur lemah, halangan pendidikan dan kesukaran mendapatkan dokumen pengenalan. Ini isu hak asasi yang nyata.
Bagi orang asli, tanah itu sumber hidup mereka, itu tempat mereka cari makan, identiti mereka dan masa depan anak-anak mereka. Pembangkang sangat lantang bercakap tentang mempertahankan tanah dan hak rakyat, tetapi apabila tanah adat orang asli terancam, suara mereka tidak cukup kuat. Apabila hutan dibuka, sungai tercemar dan masyarakat pedalaman hilang sumber hidup, mereka tidak jadikan isu ini sebagai agenda utama.
Saya rujuk kepada laporan MalaysiaKini, yang bertarikh Ogos 30, 2018. Isu tanah orang asli di Gua Musang. Kelantan nak jumpa SUHAKAM dulu, baru pusat.
Jadi ini, sudah berita lapan tahun. Saya nak tanya kepada pembangkang, sudah lapan tahun isu orang asli di Gua Musang, sampai hari ini tidak ada apa-apa penyelesaian.
Kelantan sudah lama ditadbir oleh PAS, jadi jangan berpura-pura bahawa isu tanah, isu hutan, isu air dan alam sekitar tidak ada kaitan dengan kerajaan negeri.
Mereka ada kuasa dan tanggungjawab. Sudah memerintah begitu lama, rakyat berhak tahu apakah hasilnya. Saya minta...
Tuan Haji Ahmad Fadhli bin Shaari - Pasir Mas
Boleh saya respons sikit tak?
Tuan Chong Zhemin - Kampar
Tak bagi. Saya tak cukup masa. Enam minit saja, saya tak bagi.
Tuan Haji Ahmad Fadhli bin Shaari - Pasir Mas
Maknanya setiap kerajaan negeri ini, bertanggungjawab?
Tuan Chong Zhemin - Kampar
Saya minta— Saya tak bagi. Saya minta Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri mengambil tindakan yang jelas.
(i) semua projek yang melibatkan tanah adat orang asli mesti ada rundingan sebenar;
(ii) kerajaan mesti mempercepat pemetaan tanah adat;
(iii) pampasan mesti adil dan mengambil kira kehilangan sumber hidup bukan hanya nilai tanah; dan
(iv) akses kepada dokumen, sekolah, klinik, jalan raya dan air bersih mesti dipercepat.
Timbalan Speaker, kedua isu HIV AIDS dan hak kesihatan rakyat. Hak asasi manusia juga melibatkan hak untuk mendapat maklumat kesihatan, saringan, rawatan, kaunseling dan perlindungan daripada stigma. Pada tahun 2024, Kementerian Kesihatan memaklumkan Malaysia merekodkan 3,185 kes HIV baru.
Sebanyak 90 peratus, melibatkan lelaki, tiga per empat melibatkan mereka berumur 20 hingga 39 tahun dan 96 peratus jangkitan berlaku melalui transmisi seksual.
Kelantan juga mempunyai isu khusus. Pada tahun 2022, Pengarah Kesihatan Kelantan dilaporkan, menyatakan bahawa peratusan kes HIV dalam kalangan kumpulan tertentu meningkat daripada 15.9 peratus pada tahun 2016 kepada 49.1 peratus pada tahun 2021. Ini menunjukkan, masalah sudah wujud lama dan memerlukan pendekatan kesihatan awam yang berkesan.
Tuan Haji Ahmad Fadhli bin Shaari - Pasir Mas
Yang Berhormat, itu 2022, kenapa tak ambil 57 sebelum merdeka itu Yang Berhormat?
Tuan Chong Zhemin - Kampar
Pada Jun 2025, satu Program Jangkauan HIV di Kota Bharu diserbu polis.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Sebentar, sebentar, sebentar. Yang Berhormat, Yang Berhormat, nak mencelah ada Peraturan 37 ya. Saya, masa saya mempengerusikan saya tidak mahu kerenah-kerenah yang tidak berpandukan peraturan ya. Teruskan.
Tuan Chong Zhemin - Kampar
Pada Jun 2025, satu program jangkauan HIV di Kota Bharu diserbu polis. NGO SAHABAT kemudian menjelaskan bahawa program itu ialah program kesihatan, bukan parti. Program itu melibatkan ceramah kesihatan, saringan HIV dan STI serta rujukan kepada fasiliti KKM untuk ujian pengesahan dan rawatan susulan.
SAHABAT juga menyatakan bahawa mereka telah bekerjasama dengan KKM, Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan dan Malaysia AIDS Council sejak 2006.
Ini membimbangkan apabila program kesihatan awam disalah faham sebagai isu moral atau politik, orang yang berisiko tinggi akan takut tampil. Mereka takut diperiksa, mereka takut dihina, mereka takut nama mereka tersebar. Saya mahu tanya pembangkang secara terus, adakah mereka nak selesaikan isu HIV atau mahu jadi isu ini bahan ceramah politik?
Isu ketiga, perlindungan kepada kanak-kanak. Saya mahu menjawab hantaran Ahli Parlimen Pasir Mas, yang menuduh Jelutong menjadikan Dewan Rakyat sebagai pentas fitnah terhadap Kelantan. Saya tidak setuju dengan pendekatan itu, dalam isu jenayah seksual terhadap kanak-kanak, tugas kita bukan untuk mempertahankan parti atau negeri, tugas kita untuk melindungi kanak-kanak.
Ahli Parlimen Pasir Mas juga cuba menjawab, dengan mengatakan Kelantan bukan negeri tertinggi dari segi jumlah kes. Beliau membandingkan Kelantan dengan Selangor, Johor, Sabah dan negeri lain berdasarkan jumlah kes mutlak. Tetapi itu bukan satu perbandingan yang adil, itu bukan apple to apple comparison.
Selangor dan Kuala Lumpur, mempunyai jumlah pendudukan yang jauh lebih besar daripada Kelantan. Kalau mahu membuat perbandingan yang lebih adil, kita mesti lihat kadar kes berbanding jumlah penduduk, bukan jumlah kes mutlak saja.
Data populasi negeri DOSM disediakan di OpenDOSM melalui negeri, tahun, jantina, umur dan etnik.
Berdasarkan Jadual 5.6 statistik kanak-kanak Malaysia 2025 bagi jenayah seksual melibatkan mangsa berumur 18 tahun dan ke bawah, Kelantan mencatatkan 124 kes, Selangor 368 kes dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, 113 kes. Jika dikira secara kasar bagi setiap 100,000 penduduk, Kelantan mencatatkan sekitar 6.6 kes bagi setiap 100,000 penduduk, Selangor 5 kes bagi setiap 100,000 penduduk dan Kuala Lumpur sekitar 5.5 kes bagi setiap 100,000 penduduk.
Ini bermakna, untuk kategori jenayah seksual melibatkan mangsa bawah 18 tahun, pada tahun 2023, kadar Kelantan lebih tinggi daripada Selangor dan Kuala Lumpur apabila dibandingkan dengan jumlah penduduk. Jadi, jangan hanya baca angka mutlak, baca juga kadar mengikut penduduk. Lebih penting trend Kelantan juga meningkat. Dalam Jadual 5.6, jumlah jenayah seksual mangsa melibatkan mangsa bawah 18 tahun naik daripada 92 kes pada 2022 kepada 124 kes pada tahun 2023. Kes rogol pula, naik daripada 75 kes kepada 98 kes dalam tempoh yang sama.
Dalam jadual yang sama, kesalahan seksual melibatkan kanak-kanak di Kelantan meningkat daripada 59 kes tahun 2022, kepada 73 kes pada tahun 2023, dan 91 kes pada tahun 2024. Jadi apakah yang sebenarnya nak dinafikan? Jadi, kalau nak katakan Kelantan bukan nombor satu dari jumlah kes, maka ini isu tak serius.
Jadi saya harap kementerian boleh bagi satu statistik yang sebenar, yang ikut secara populasi dan boleh kita semua bahaskan di sini. Sekian, terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Terima kasih Yang Berhormat. Berikut dipersilakan Yang Berhormat Hulu Selangor.
Tuan Haji Mohd Hasnizan bin Harun - Hulu Selangor
Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salah sejahtera. Terima kasih Dato’ Yang di-Pertua memberikan ruang kepada saya untuk bersama-sama membahaskan Laporan SUHAKAM 2024.
Dato’ Yang di-Pertua, sebagai permulaan saya ingin menyentuh isu berkaitan peranan pihak berkuasa tempatan (PBT), dalam memperkasa hak golongan OKU.
Antara perkara yang dibangkitkan oleh SUHAKAM, ialah keperluan memperkukuh penguatkuasaan kemudahan mesra OKU sedia ada serta peranan PBT dalam menyediakan persekitaran yang lebih inklusif kepada golongan OKU. Kita melihat kemudahan untuk OKU telah disediakan, namun aspek penyelenggaraan dan penguatkuasaan masih belum memuaskan, contohnya petak parkir OKU, disalahgunakan. Laluan khas dihalang, kemudahan awam tidak di selenggara dengan baik atau reka bentuk bangunan masih menyukarkan akses kepada golongan OKU.
Jadi berdasarkan dapatan daripada SUHAKAM ini, apakah tindakan yang sedang diambil oleh kerajaan bagi memastikan tindakan penguatkuasaan dan penambahbaikan kemudahan mesra OKU dapat dilaksanakan dengan lebih menyeluruh dan berkesan?
Selain itu, satu lagi isu yang dibangkitkan di dalam Laporan SUHAKAM ini adalah berkaitan dasar satu peratus peluang pekerjaan kepada golongan OKU yang masih belum berjaya mencapai sasaran, walaupun dasar tersebut telah lama diperkenalkan.
Saya ingin mendapatkan penjelasan, adakah kementerian telah menjalankan penilaian yang menyeluruh di semua PBT mengenai pelaksanaan dasar satu peratus ini? Apakah cabaran sebenar yang dikenal pasti sehingga sasaran tersebut masih belum dicapai? Sekiranya cabaran ini telah dikenal pasti, apakah pelan tindakan KPKT bagi membantu PBT mengatasinya dan memastikan dasar ini benar-benar direalisasikan di seluruh negara? Dato’ Yang di-Pertua.
Tuan Haji Ahmad Fadhli bin Shaari - Pasir Mas
Hulu Selangor boleh saya minta laluan sikit?
Tuan Haji Mohd Hasnizan bin Harun - Hulu Selangor
Sekejap je, sekejap je. Eh, sambunglah cepat sikit.
Tuan Haji Ahmad Fadhli bin Shaari - Pasir Mas
Terima kasih Hulu Selangor. Sejak Hulu Selangor bahawa inilah sebenarnya perbahasan yang sepatutnya kita lontarkan di Dewan Rakyat.
Tuan Haji Ahmad Fadhli bin Shaari - Pasir Mas
Jadi, adakah Hulu Selangor bersetuju Ahli Parlimen macam Kampar ini saya cabar dia untuk berdebat di mana-mana platform di luar dewan dalam isu yang disebutkan tadi.
[Dewan tepuk]
Tuan Haji Ahmad Fadhli bin Shaari - Pasir Mas
Dan kalau tak nak sahut ia merupakan satu ciri-ciri yang agak boleh disebut sebagai agak tidak berani atau mungkin agak pengecut.
Terima kasih.
Tuan Haji Mohd Hasnizan bin Harun - Hulu Selangor
Saya setuju. Dato’ Yang di-Pertua, perkara yang kedua yang ingin saya sentuh ini juga berkait rapat dengan perlindungan hak dan sokongan kepada golongan orang kurang upaya
(OKU) iaitu Program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK).
Saya ingin mendapatkan penjelasan dari pihak kerajaan berhubung pelaksanaan keperluan pendaftaran Program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) sebagai pusat jagaan di bawah Akta Pusat Jagaan 1993 [Akta 506], selaras dengan Garis Panduan Bantuan Kewangan PDK Tahun 2024 (Pindaan) 2025 yang mula berkuat kuasa pada 1 Januari 2026.
Hasrat kerajaan untuk memastikan setiap PDK memenuhi standard yang ditetapkan sememangnya wajar disokong. Namun, apa yang membimbangkan ialah bagaimana kerajaan boleh membantu dalam pelaksanaan dasar tersebut terutamanya kepada PDK-PDK yang mempunyai sumber kewangan yang terhad?
Saya mengambil contoh di Hulu Selangor, terdapat sembilan buah PDK yang mana sebahagian daripadanya sedang berdepan kesukaran untuk memenuhi keperluan pendaftaran sebagai pusat jagaan kerana melibatkan kos yang cukup tinggi seperti penyediaan pelan bangunan, kelulusan teknikal dan penambahan — penambahbaikan premis.
Sekiranya salah sebuah PDK tidak mampu memenuhi syarat pendaftaran, adakah ini bermaksud mereka berisiko untuk kehilangan kelayakan bagi menerima bantuan geran kerajaan bagi masa akan datang? Sekiranya bantuan tersebut terhenti, operasi PDK pastinya akan terjejas, petugas juga terpaksa berhadapan dengan kesukaran untuk meneruskan perkhidmatan atau lebih buruk lagi terpaksa ditutup. Maka, yang paling terkesan ialah dari golongan OKU itu sendiri.
Ini adalah salah satu jurang yang berlaku antara dasar dan juga pelaksanaan.
Sesuatu dasar mestilah mengambil kira realiti sebenar di lapangan. Saya mohon kementerian menjelaskan apakah tindakan yang sedang dilaksanakan bagi membantu PDK-PDK yang tidak berkemampuan untuk melengkapkan proses pendaftaran seperti bantuan teknikal, geran khas, one-off, skim pembiayaan dan sebagainya. Saya mohon agar perkara ini dapat diteliti semula dan diperjelaskan oleh kementerian.
Dato’ Yang di-Pertua, perkara terakhir yang ingin saya sentuh adalah perkara yang saban tahun dibangkitkan iaitu berkaitan hak masyarakat orang asli.
SUHAKAM telah lama menekankan kepentingan pengiktirafan hak masyarakat orang asli termasuk susulan terhadap inquiry nasional mengenai hak tanah orang asli sebagai antara agenda sah yang terus diberikan perhatian oleh kerajaan.
Isu pewartaan tanah bukan sekadar soal status tanah tetapi merupakan asas perlindungan hak masyarakat orang asli dan penempatan mereka. Sehingga Jun 2026 ini, berapa banyak kah penempatan orang asli di seluruh negara yang telah berjaya diwartakan khususnya di Hulu Selangor yang mempunyai 16 buah perkampungan orang asli?
Apakah tindakan yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan bagi mempercepatkan proses pewartaan tersebut? Dato’ Yang di-Pertua, satu lagi sudut yang perlu dilihat oleh SUHAKAM iaitu usaha untuk meningkatkan taraf hidup masyarakat orang asli termasuk dari aspek kemudahan asas, perumahan, pendidikan, kesihatan, infrastruktur dan juga peluang ekonomi.
Di lapangan, kita melihat masih terdapat rumah-rumah yang memerlukan pembaikan, kemudahan awam yang perlu dinaik taraf serta isu penyelenggaraan utiliti seperti keperluan penambahan lampu jalan yang memerlukan perhatian segera. Dato’ Yang di-Pertua, minta tambah sikit masa.
Mungkin isu ini kelihatan kecil berbanding isu yang lebih besar seperti pewartaan tanah, namun bagi masyarakat orang asli yang menghadapinya setiap hari dan tinggal jauh di pedalaman, ia cukup memberi kesan yang besar kepada keselamatan, keselesaan dan kualiti hidup mereka.
Oleh itu, saya ingin bertanya kepada kerajaan apakah pelan tindakan kerajaan bagi memastikan masyarakat orang asli turut menikmati penambahbaikan dari segi perumahan, kemudahan asas, keselamatan, utiliti dan pembangunan sosioekonomi? Adakah dasar pembangunan orang asli yang sedang di rangka turut menggariskan satu pelan pembangunan yang menyeluruh bagi meningkatkan taraf hidup masyarakat orang asli?
Selagi isu-isu kemudahan asas seperti rumah kediaman, bekalan utiliti dan kemudahan awam masih berlarutan, selagi itulah mereka akan merasakan bahawa pembangunan belum benar-benar sampai kepada mereka. Dato’ Yang di-Pertua, saya percaya sekiranya setiap syor diteliti diterjemahkan tindakan yang nyata, maka perbahasan Laporan SUHAKAM akan benar-benar memberi makna dan manfaat kepada rakyat. Sekian, terima kasih Dato’ Yang di-Pertua.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato' Mohd Nor
Terima kasih Yang Berhormat Hulu Selangor. Berikut dipersilakan Yang Berhormat Maran.
Dato’ Sri Dr. Haji Ismail bin Abd Muttalib - Maran
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Terima kasih Dato’ Yang di- Pertua. Sebelum saya mulakan perbahasan saya, saya ingin mengucapkan selamat datang kepada pelajar-pelajar Tingkatan 6 Sekolah Menengah Kebangsaan Dato' Mahmud Mat, Pekan, Pahang dan yang lain-lain.
[Dewan tepuk]
Dato’ Sri Dr. Haji Ismail bin Abd Muttalib - Maran
Terima kasih Dato’ Yang di-Pertua kerana izinkan saya untuk terus membahaskan Laporan SUHAKAM 2024 pada hari ini. Dato’ Yang di-Pertua dalam membahaskan Laporan SUHAKAM 2024 ini, saya ingin menumpukan kepada tiga isu utama yang menyentuh perlindungan kelompok rentan:
(i) keadaan tahanan dan kematian dalam tahanan;
(ii) scam kebocoran data dan perlindungan rakyat rentan; dan
(iii) hak kanak-kanak dan remaja kepada ruang digital yang selamat.
Pertama, saya mulakan perbahasan saya dengan menyentuh isu keadaan tahanan, kesesakan penjara dan kematian dalam tahanan. Dato’ Yang di-Pertua, Laporan SUHAKAM 2024 memberikan satu gambaran yang sangat serius tentang keadaan tempat tahanan di negara ini.
Isunya bukan kecil. Ia melibatkan lokap polis, penjara, depoh imigresen dan pusat tahanan yang berada di bawah tanggungjawab beberapa agensi utama seperti Kementerian Dalam Negeri, PDRM, Jabatan Penjara, Jabatan Imigresen dan Kementerian Kesihatan Malaysia.
SUHAKAM merekodkan 25 kematian dalam tahanan polis sehingga 31 Disember 2024 termasuk 12 kes dilokap dan 13 kes lain sama ada di hospital, dalam perjalanan ke hospital atau dipenjara. Angka ini menunjukkan bahawa isu tahanan bukan sekadar soal disiplin dan keselamatan tetapi menyentuh hak paling asas iaitu hak untuk hidup, mendapat rawatan, dilindungi dan dilayan secara bermaruah.
Lebih membimbangkan Laporan SUHAKAM turut menunjukkan kelemahan systemic seperti kelewatan rawatan, saringan kesihatan tidak sempurna dan fasiliti yang tidak mencukupi. Ini menandakan tempat tahanan kita perlu ditambah baik secara menyeluruh sama ada dari segi sudut kapasiti, tadbir urus dan akauntabiliti tempat tahanan.
Dato’ Yang di-Pertua, lawatan SUHAKAM ke lokap polis penjara dan depoh imigresen menunjukkan masalah tempat tahanan masih bersifat struktur. Tanpa penyelesaian dasar yang jelas, penahanan berpanjangan layanan hanya akan menyebabkan— membebankan depoh, meningkatkan risiko kesihatan dan menjejaskan maruah tahanan.
Maka soalan saya, saya ingin bertanya bagaimana dapatan SUHAKAM ini diambil kira dalam perbincangan pindaan Rang Undang-undang Penjara? Yang kedua, apakah perkembangan terkini perbincangan berhubung pindaan Rang Undang-undang Penjara khususnya dalam menjawab dapatan SUHAKAM berkaitan kelemahan struktur dan tadbir urus dalam pengurusan tempat tahanan? Yang ketiga, bagaimana pindaan Rang Undang-undang Penjara ini akan membantu meminimumkan aduan yang sering dibangkitkan oleh SUHAKAM termasuk aduan berkaitan isu struktur dan tadbir urus di penjara ini?
Kerajaan perlu menjelaskan indikator yang akan digunakan untuk mengukur keberkesanan pindaan ini supaya selepas rang undang-undang ini diluluskan, kita boleh menilai sama ada jumlah aduan benar-benar berkurang dan keadaan tahanan benar-benar bertambah baik.
Dato’ Yang di-Pertua, saya ingin mencadangkan empat perkara. Pertama, semua tempat tahanan berkapasiti tinggi mesti mempunyai sistem CCTV yang berfungsi, diselenggara dan disimpan rakamannya untuk tempoh munasabah.
Apakah fasiliti ini ada dan berfungsi sepenuhnya?
Yang kedua, semua tahanan mesti melalui saringan kesihatan awal dalam tempoh yang ditetapkan bukan selepas keadaan menjadi kritikal. Yang ketiga, Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Kesihatan Malaysia perlu melaksanakan audit kesihatan dan keselamatan secara berkala di lokap, penjara dan depoh imigresen. Yang keempat, setiap kes kematian dalam tahanan mesti dipantau dengan mekanisme bebas termasuk inkues yang telus apabila wujud unsur kecuaian, kelewatan rawatan atau keraguan dalam punca kematian.
Dato’ Yang di-Pertua, isu yang kedua ialah saya menyentuh isu scam, kebocoran data dan peranan SUHAKAM dalam melindungi rakyat rentan. Laporan SUHAKAM 2024 banyak menyentuh isu kelompok rentan. Pada pandangan saya, dalam dunia hari ini, kelompok rentan bukan sahaja terdedah kepada kemiskinan, diskriminasi atau kelemahan akses kepada perkhidmatan asas.
Dato’ Sri Dr. Haji Ismail bin Abd Muttalib - Maran
Mereka juga semakin terdedah kepada jenayah digital khususnya scam dan kebocoran data. Hari ini, ramai rakyat menjadi mangsa scam. Simpanan hilang, wang pencen lesap, akaun bank dikosongkan, ada yang malu membuat pelaporan, ada yang mengalami tekanan emosi, ada yang kehilangan seluruh simpanan hari tua.
Dato' Yang di-Pertua, isu yang ketiga ialah tentang saya ingin membangkitkan hak, hak kanak-kanak dan remaja untuk dilindungi dalam ruang digital. Isu ini sudah besar. UNICEF pernah menganggarkan sekitar 100,000 remaja di Malaysia mengalami bentuk jelas eksploitasi dan penderaan seksual dalam talian, dalam tempoh setahun.
Pada masa yang sama, MCMC melaporkan 957 kandungan ofensif melibatkan kanak-kanak dikesan di media sosial dari Januari hingga November 2025. Manakala, operasi PDRM turut merampas lebih 40,000 bahan eksploitasi seksual kanak-kanak dalam Op Pedo 1.0. Ini bukan lagi isu kecil dalam telefon kanak-kanak, ini isu perlindungan generasi.
Hari ini, remaja mudah terdedah kepada kandungan lucah, keganasan, perjudian, scam, grooming, iklan tidak bermoral dan algoritma yang menolak kandungan sensasi semata-mata kerana ia tinggi di tontonan. Kita tidak boleh hanya berharap anak-anak jaga diri anak-anak, mereka masih membesar, akal, emosi dan nilai mereka sedang dibentuk dan kita perlu membelanya.
Dato' Yang di-Pertua, isu hak asasi hari ini tidak boleh dilihat secara sempit.
Ia bukan hanya soal lokap, penjara atau mahkamah tetapi juga soal bagaimana negara dilindungi rakyat dalam ruangan digital yang semakin kompleks. Dalam sistem tahanan, seseorang yang dihukum oleh mahkamah memang hilang kebebasan tetapi bukan kehilangan nyawa, kesihatan atau maruah. Dalam ruang digital pula, jika data rakyat bocor, simpanan wang emas lesap, wanita di manipulasi sindiket scam dan remaja terdedah kepada kandungan lucah serta eksploitasi, itu juga kegagalan sistem perlindungan negara.
Maka, saya memohon kerajaan melihat laporan SUHAKAM ini sebagai asas tindakan bukan sekadar dokumen tahunan. Pertama, reformasi yang sebenar sistem tahanan. Kedua, perlindungan hak digital rakyat rentan. Ketiga, kawalan lebih tegas terhadap kandungan digital yang merosakkan kanak-kanak dan remaja. Negara mesti melindungi rakyat bukan saja selepas mereka menjadi mangsa tetapi sebelum mereka menjadi mangsa dan warganegara.
Dato' Yang di-Pertua, saya bersetuju dengan beberapa cadangan daripada kawan-kawan Ahli Parlimen yang lain termasuk daripada Arau supaya SUHAKAM ini diberikan peruntukan yang lebih bagi membolehkan mereka menjalankan tanggungjawab sebagai satu badan bebas bagi membantu kerajaan dalam menangani apa juga isu yang berkaitan dengan masyarakat di negara kita ini.
Saya mencadangkan supaya berilah perhatian kerana masa depan negara kita adalah terletak pada rakyat dan anak-anak yang ada di negara kita pada hari ini.
Terima kasih Dato' Yang di-Pertua, saya mohon menyokong untuk diberikan kekuatan. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Terima kasih Yang Berhormat Maran. Pembahas yang terakhir sebelum kita berhenti rehat untuk solat dan makan, dipersilakan Yang Berhormat Raub.
Tuan Chow Yu Hui - Raub
Terima kasih Tuan Speaker kerana memberi peluang kepada saya mengambil bahagian dalam perbahasan Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 2024.
Tuan Yang di-Pertua, apabila kita membahaskan penyata kewangan SUHAKAM, kita bukan sekadar meneliti angka perbelanjaan atau laporan audit. Apa yang lebih penting ialah sama ada peruntukan yang diberikan oleh kerajaan kepada SUHAKAM benar-benar diterjemahkan kepada perlindungan hak asasi manusia yang menyeluruh, bebas dan konsisten kepada semua rakyat Malaysia.
Saya ingin menyentuh dua perkara yang saya percaya amat penting. Perkara pertama ialah kes Teoh Beng Hock. Bagi saya kes ini bukan lagi sekadar satu kes jenayah. Ia merupakan antara titik hitam terbesar dalam sejarah hak asasi manusia Malaysia. Mahkamah Rayuan pada tahun 2014 telah memutuskan bahawa kematian Teoh Beng Hock berpunca daripada perbuatan menyalahi undang-undang oleh seorang atau beberapa orang yang tidak dikenali.
Namun begitu, sehingga hari ini tiada seorang pun didakwa sama ada di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh ataupun seksyen 304 kerana menyebabkan kematian tanpa niat membunuh. Lebih mendukacitakan, siasatan kes tersebut akhirnya diklasifikasikan sebagai NFA, no further action. Hak untuk hidup merupakan hak asasi manusia yang paling asas. Apabila seseorang meninggal dunia ketika berada dalam jagaan pihak berkuasa, negara mempunyai tanggungjawab untuk memastikan siasatan dijalankan secara bebas, menyeluruh, telus dan berkesan serta memastikan mereka yang bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan.
Saya menghargai pendirian SUHAKAM yang sebelum ini telah menggesa supaya keputusan NFA dikaji semula dan tindakan undang-undang yang sewajarnya diambil terhadap mana-mana individu yang bertanggungjawab. Namun sehingga hari ini, selepas 17 tahun, keluarga mendiang masih menunggu keadilan. Rakyat Malaysia juga masih menunggu kebenaran. Selagi tiada akauntabiliti, kes Teoh Beng Hock akan terus menjadi satu titik hitam dalam sejarah hak asasi manusia negara dan satu ujian terhadap komitmen kita kepada rule of law serta reformasi institusi.
Saya berharap SUHAKAM akan terus memainkan peranan secara tegas dan konsisten supaya kes ini tidak dilupakan sehingga keadilan benar-benar ditegakkan.
Tuan Yang di-Pertua, hak asasi manusia bukan sekadar berkaitan hak untuk hidup. Hak asasi manusia juga merangkumi hak untuk hidup dengan bermaruah, hak mencari rezeki serta hak untuk dilayan secara adil apabila seseorang berhadapan dengan tindakan pihak berkuasa. Saya melihat sepanjang laporan tahun SUHAKAM 2024, suruhanjaya banyak memberi penekanan kepada nilai keadilan, akauntabiliti dan perlindungan terhadap golongan rentan.
Namun begitu, saya ingin membangkitkan satu isu yang pandangan saya masih belum diberikan perhatian yang mencukupi iaitu nasib pekebun yang telah lama mengusahakan tanah tetapi tidak mempunyai hak milik berdaftar apabila mereka kehilangan mata pencarian akibat pertikaian tanah.
Di kawasan Raub, ramai pekebun Musang King atau durian telah mengusahakan kebun mereka selama lebih 40 dekad. Mereka membuka kawasan tersebut dengan tenaga sendiri, melaburkan modal sendiri, menjaga pokok selama bertahun-tahun sebelum menikmati hasilnya. Namun kemudiannya, kerajaan negeri telah memberikan hak kutipan hasil iaitu tapping right kepada syarikat swasta bernama DOA Plantation. Apa yang dikesalkan ialah petani mendakwa mereka bukan saja tidak diberikan ruang rundingan yang bermakna, malah hasil tanaman mereka usahakan selama puluhan tahun turut diambil alih tanpa pampasan sehingga menjejaskan mata pencarian mereka.
Tuan Speaker, apa yang saya nak bangkitkan ialah persoalan hak asasi manusia dalam pelaksanaan kuasa pentadbiran. Apabila sesuatu tindakan menyebabkan seseorang kehilangan sumber rezeki yang dibina selama berpuluh- puluh tahun, adakah proses tersebut benar-benar menghormati prinsip keadilan?
Adakah mereka telah diberikan peluang yang adil untuk didengar? Adakah proses konsultasi dijalankan secara bermakna? Adakah tindakan yang diambil memenuhi prinsip procedural fairness dan proportionality supaya pelaksanaan undang-undang tidak membawa kesan yang terlalu berat terhadap kehidupan rakyat. Saya percaya persoalan-persoalan inilah yang juga wajar diberikan perhatian oleh SUHAKAM.
Tuan Speaker, sehubungan dengan itu, saya ingin mengemukakan beberapa cadangan. Pertama, saya berharap SUHAKAM dapat memperluaskan skop kajiannya terhadap isu hak kepada mata pencarian, right to livelihood khususnya dalam kes-kes pertikaian tanah yang melibatkan rakyat yang telah lama bergantung kepada hasil pertanian terhadap sumber kehidupan mereka.
Dato’ Sri Dr. Haji Ismail bin Abd Muttalib - Maran
Dato' Yang di-Pertua.
Raub, boleh mencelah?
Tuan Chow Yu Hui - Raub
Ya?
Dato’ Sri Dr. Haji Ismail bin Abd Muttalib - Maran
Celah boleh?
Tuan Chow Yu Hui - Raub
Saya tak ada masa.
Dato’ Sri Dr. Haji Ismail bin Abd Muttalib - Maran
Sikit je.
Tuan Chow Yu Hui - Raub
You boleh tanya satu soalanlah.
Dato’ Sri Dr. Haji Ismail bin Abd Muttalib - Maran
Sikit je.
Tuan Chow Yu Hui - Raub
Sikit, sikit tanya.
Dato’ Sri Dr. Haji Ismail bin Abd Muttalib - Maran
Tentang tanah di Raub ini.
Tuan Chow Yu Hui - Raub
Erm.
Dato’ Sri Dr. Haji Ismail bin Abd Muttalib - Maran
Sebenarnya apa yang dibuat tindakan oleh kerajaan negeri ialah melibatkan tanah-tanah haram. Itu yang ini. Jadi kalau kita...
Tuan Chow Yu Hui - Raub
Mereka bukan tanah haram.
Dato’ Sri Dr. Haji Ismail bin Abd Muttalib - Maran
Nanti, nanti Yang Berhormat. Kalau kita boleh bela pencerobohan tanah haram, serupa kita boleh bela saja penjenayah-penjenayah buat jenayah.
Tuan Chow Yu Hui - Raub
Hei Maran, adakah kamu sekarang –– sekarang kamu bela syarikat swasta yang mengambil semua hasil kebun?
Dato’ Sri Dr. Haji Ismail bin Abd Muttalib - Maran
Hah itu saya tanya.
Setuju tak?
Tuan Chow Yu Hui - Raub
Adakah kamu hak membela syarikat swasta dan bukan rakyat?
Dato’ Sri Dr. Haji Ismail bin Abd Muttalib - Maran
Jangan, jangan marah.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Yang Berhormat.
Tuan Chow Yu Hui - Raub
Sila jawab.
Dato’ Sri Dr. Haji Ismail bin Abd Muttalib - Maran
Jangan marah Yang Berhormat. Saya tolong tanyakan.
Tuan Chow Yu Hui - Raub
Sila jawab. Saya tanya soalan. [Pembesar suara dimatikan]
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Yang Berhormat, kedua-duanya, tengok di atas itu. Yang Berhormat-Yang Berhormat orang tua-tua.
Nuh, saya tengok lagi bertekak, dua-dua saya halau keluar. Teruskan. Satu minit.
Tuan Chow Yu Hui - Raub
Apa yang saya nak tegaskan di sini. Apa yang Maran bangkitkan adalah salah kerana kami adalah bertujuan untuk mempertahankan pekebun, hasil-hasil mereka, usaha-usaha mereka dan sekarang semua hasil ini dirampas oleh satu syarikat. Adakan Maran berani berucap bahawa beliau adalah mempertahankan syarikat dan bukan rakyat?
Oleh itu, saya harap SUHAKAM dapat mengadakan sesi libat urus bersama semua pihak yang berkepentingan dalam kes-kes seperti ini bagi menilai sama ada pelaksanaan kuasa pentadbiran benar-benar mematuhi prinsip-prinsip hak asasi manusia dan seterusnya mengemukakan syor penambahbaikan kepada kerajaan.
Sekian, terima kasih Tuan Speaker.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Baik, terima kasih Yang Berhormat. Majlis dengan ini berhenti untuk rehat, untuk solat dan makan. Majlis akan bersambung semula pada jam 2.30 petang.
[Mesyuarat ditempohkan pada pukul 1.01 tengah hari]
[Mesyuarat disambung semula pada pukul 2.30 petang]
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
[Timbalan Yang di-Pertua (Puan Alice Lau Kiong Yieng) mempengerusikan
Mesyuarat] Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Saya jemput Yang Berhormat Kuala Nerus.
Dato' Dr. Hj. Alias bin Razak - Kuala Nerus
*Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,* salam sejahtera. Alhamdulillah, terima kasih Tuan Yang di-Pertua kerana memberi peluang kepada Kuala Nerus menyertai perbahasan Laporan Tahunan SUHAKAM bagi Tahun 2024. Pertama sekali, saya ingin merakamkan penghargaan kepada seluruh anggota Suruhanjaya dan warga SUHAKAM yang telah melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai institusi bebas negara dalam mempromosikan dan memantau pelaksanaan hak asasi manusia.
Laporan ini menunjukkan pelbagai usaha telah dilakukan melibatkan pendidikan, advokasi dasar, pemantauan pusat tahanan, hak-hak kanak-kanak, orang asli, komuniti rentan serta pembaharuan institusi. Laporan ini adalah salah satu bukti yang menunjukkan cabaran besar dalam negara kita. Soalnya, bukan sama ada kita mempunyai undang-undang yang mencukupi tapi mengapa banyak isu yang sama terus berulang walaupun laporan demi laporan telah dibentangkan di Parlimen ini.
Hak rakyat tidak boleh berhenti sekadar menjadi dokumen, syor ataupun laporan tahunan sahaja. Ia mesti diterjemahkan kepada dasar yang berkesan, penyampaian perkhidmatan yang berkualiti serta tindakan yang memberi impak kepada kehidupan rakyat. Laporan SUHAKAM 2024 ini menunjukkan bahawa landskap hak asasi manusia di Malaysia telah berubah. Hari ini hak asasi bukan lagi terbatas kepada isu kebebasan sivil semata-mata tapi merangkumi kesejahteraan ekonomi, masyarakat menua, alam sekitar, keselamatan pekerjaan dan tadbir urus negara.
Hak sosioekonomi sebagai asas kesejahteraan rakyat. SUHAKAM meletakkan hak ekonomi, sosial dan budaya sebagai antara agenda utama sepanjang tahun 2024. Isu kemiskinan, kos sara hidup, pekerja ekonomi gig, warga emas, orang kurang upaya, komuniti tanpa kewarganegaraan serta akses kepada keperluan asas diberikan perhatian yang khusus.
Saya berpandangan hak asasi manusia di Malaysia perlu difahami dalam konteks kehidupan rakyat. Apabila seorang bapa tidak mampu menyediakan makanan kepada keluarganya, seorang ibu terpaksa menangguhkan rawatan kerana kekangan kewangan dan anak muda yang memiliki pendidikan tetapi gagal memperoleh pekerjaan yang sewajarnya, maka hak asasi mereka sebenarnya sedang terjejas.
Justeru, saya mencadangkan supaya pendekatan hak asasi tidak dilihat semata-mata sebagai isu perundangan tapi diarusperdanakan dalam setiap dasar pembangunan negara supaya manfaat pembangunan benar-benar dirasai oleh rakyat. Dalam konteks hak sosioekonomi ini juga, saya ingin menarik perhatian kepada isu buruh paksa dan diberikan penekanan oleh SUHAKAM.
Isu ini bukan hanya soal kebajikan pekerja tetapi turut memberi kesan kepada reputasi negara dan daya saing perdagangan antarabangsa. Malaysia perlu memperkukuhkan penguatkuasaan undang-undang buruh, memastikan rantaian bekalan bebas daripada eksploitasi pekerja serta meningkatkan perlindungan kepada pekerja tempatan dan pekerja migran yang sah.
Tuan Yang di-Pertua, saya juga ingin menarik perhatian kepada satu isu yang semakin mendesak iaitu cabaran masyarakat menua. SUHAKAM membangkitkan bahawa semakin ramai warga emas berhadapan dengan masalah simpanan persaraan yang tidak mencukupi, kesunyian, kekurangan akses kepada penjagaan kesihatan geriatrik serta diskriminasi berdasarkan umur.
Saya menyambut baik cadangan SUHAKAM supaya kerajaan memperluaskan latihan semula, reskilling dan upskilling dan memperbanyakkan pusat aktiviti warga emas (PAWE), mengamalkan sektor care economy dan menggalakkan lebih ramai warga emas terus menyumbang kepada ekonomi mengikut keupayaan mereka. Saya percaya, warga emas bukan beban negara, sebaliknya aset, pengalaman yang masih boleh menyumbang kepada pembangunan negara sekiranya dasar yang sesuai diwujudkan.
Tuan Yang di-Pertua, SUHAKAM turut membawa satu dimensi baru dalam perbahasan hak asasi manusia apabila mengiktiraf hak kepada udara bersih, air bersih serta alam sekitar yang sihat sebagai sebahagian daripada hak asasi manusia. Dalam keadaan dunia sedang berhadapan dengan perubahan iklim, jerebu rentas sempadan, banjir besar dan cuaca ekstrem, hak rakyat untuk menikmati udara bersih, bekalan air yang stabil dan persekitaran yang selamat tidak lagi boleh dianggap sebagai isu alam sekitar semata-mata tetapi ia juga isu kesihatan awam dan hak generasi akan datang. Saya menyokong cadangan Malaysia memperkukuhkan kerangka perundangan berkaitan udara bersih dan meningkatkan kesiapsiagaan negara terhadap perubahan iklim.
Tuan Yang di-Pertua, baru-baru ini SUHAKAM mengeluarkan kenyataan menggesa masyarakat menolak budaya kebencian dan penghinaan terhadap komuniti Rohingya serta mengingatkan bahawa setiap manusia mempunyai maruah yang perlu dihormati. Saya menghormati pendirian tersebut kerana agama Islam sendiri mengajar kita berlaku adil dan berperikemanusiaan kepada sesiapa sahaja.
Namun dalam masa yang sama, kita juga tidak boleh menutup mata terhadap kebimbangan sebenar rakyat.
Sebagai contoh, operasi khas Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Terengganu baru-baru ini telah mengesan ramai warga Rohingya melakukan pelbagai kesalahan jalan raya termasuk memandu tanpa lesen, tanpa cukai jalan dan tanpa perlindungan insurans sehingga kepada membahayakan pengguna jalan raya yang lain. Penguatkuasaan seperti ini perlu diteruskan secara tegas tanpa kompromi.
Kita menolak sebarang bentuk kebencian berasaskan kaum dan etnik tapi kita juga menolak sebarang pelanggaran undang-undang, tidak kira sama ada dilakukan oleh warganegara ataupun bukan warganegara. Perlu diingatkan, hak asasi manusia tidak boleh dijadikan alasan untuk mengabaikan keselamatan rakyat sendiri. Oleh itu saya menggesa kerajaan supaya memperkukuhkan Dasar Pengurusan Pelarian dan meningkatkan kerjasama dengan agensi antarabangsa yang berkaitan.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Sila gulung.
Dato' Dr. Hj. Alias bin Razak - Kuala Nerus
Pendekatan yang betul ialah compassion with accountability, berperikemanusiaan tanpa mengorbankan keselamatan negara. Sikit lagi Tuan Yang di-Pertua.
Sebagai penutup, saya ingin menutup perbahasan ini dengan satu prinsip, Malaysia tidak memerlukan politik yang memecahkan rakyat atas nama hak asasi.
Apa yang kita perlukan ialah sebuah negara yang berjaya mengimbangi pembangunan ekonomi, keadilan sosial, kedaulatan undang-undang, keluhuran Perlembagaan dan nilai-nilai agama.
Apabila setiap rakyat mendapat layanan yang adil, apabila setiap bumiputera yang masih memerlukan bantuan dibantu keluar daripada kemiskinan, apabila setiap anak Malaysia merasakan negara ini melindungi maruah dan keselamatan mereka dan keselamatan negara sentiasa dipertahankan tanpa mengorbankan nilai kemanusiaan, maka ketika itulah perpaduan dan kemakmuran negara akan benar- benar menjadi kenyataan.
Saya harap segala syor yang bersifat membina dan Laporan Tahunan SUHAKAM 2024 ini diberi perhatian serius oleh kerajaan demi membina sebuah negara Malaysia yang lebih adil, lebih sejahtera dan lebih berdaya tahan. Sekian, wabillahitaufiq walhidayah, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Terima kasih Yang Berhormat Kuala Nerus. Saya jemput Yang Berhormat Kuala Krai.
Tuan Haji Abdul Latiff bin Abdul Rahman - Kuala Krai
Bismillahirrahmanirrahim. Terima kasih Yang di-Pertua kerana memberi kesempatan kepada Kuala Krai untuk bersama dalam perbahasan Laporan Tahunan SUHAKAM khususnya yang berkaitan dengan kebimbangan terhadap ketidaksediaan Malaysia menghadapi status negara menua.
Tuan Yang di-Pertua, laporan ini tidak sekadar membentangkan statistik tetapi memberi amaran bahawa Malaysia sedang memasuki satu fasa demografi baharu yang akan mengubah struktur ekonomi, kesihatan, pekerjaan, perumahan, pengangkutan dan kehidupan sosial negara. Saya ingin membawa satu dimensi yang sering terlepas dalam perbahasan dasar iaitu bahawa isu warga emas bukan sekadar isu kebajikan tetapi isu hak asasi dan juga isu kerohanian. Hak asasi manusia perlu diperkukuh dengan nilai agama.
Tuan Yang di-Pertua, kita sering bercakap mengenai hak asasi manusia dari sudut undang-undang tetapi dalam masyarakat Malaysia yang beragama, hak asasi tidak boleh dipisahkan daripada nilai agama. Agama mengajar manusia menghormati ibu bapa sebelum wujudnya pelbagai konvensyen antarabangsa. Islam mengangkat kedudukan orang tua sehingga Allah SWT memerintahkan, [Berucap dalam bahasa Arab] “Dan janganlah engkau berkata kepada kedua-duanya walaupun dengan perkataan ah”. Ini menunjukkan penghormatan kepada warga emas bukan sekadar tanggungjawab kerajaan tetapi kewajipan moral seluruh masyarakat. Jika kita hanya membina polisi tanpa membina jiwa manusia, akhirnya warga emas tetap akan hidup dalam kesunyian walaupun mendapat bantuan kewangan.
Tuan Yang di-Pertua, Laporan SUHAKAM banyak menumpukan aspek fizikal dan perlindungan sosial. Namun, saya ingin mencadangkan supaya kerajaan turut memberi perhatian kepada hak warga emas untuk mendapat pengisian rohani yang sistematik. Semakin meningkat usia, semakin dekat seseorang kepada pertemuan dengan Allah SWT. Nabi bersabda, [Berucap dalam bahasa Arab] “Sebaik-baik manusia ialah mereka yang dipanjangkan umurnya dan diperelokkan amalannya”. Saya mencadangkan agar Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, institusi agama negeri dan badan-badan bukan kerajaan membangunkan program penuaan bermaruah yang bukan hanya menyediakan senaman, pemeriksaan kesihatan dan rekreasi tetapi juga kelas al-Quran, bimbingan ibadah, kaunseling kerohanian, terapi emosi dan persediaan menghadapi penghujung kehidupan dengan lebih matang.
Tuan Yang di-Pertua, saya mencadangkan kerajaan memperkenalkan standard nasional bagi semua pusat jagaan warga emas supaya aspek psikologi, hubungan kekeluargaan, aktiviti kerohanian dan interaksi sosial menjadi indikator utama, bukan hanya bilangan katil dan bangunan yang selesa.
Di seluruh negara terdapat begitu banyak NGO warga emas yang aktif menjalankan kelas agama, ziarah pesakit, aktiviti kesihatan, sukarelawan dan kebajikan. Di Kuala Krai sendiri misalnya, terdapat beberapa pertubuhan warga emas termasuk di bawah naungan masjid yang bergerak secara sukarela dengan sumber yang sangat terhad tetapi memberi impak besar kepada komuniti. Kerajaan perlu mewujudkan skim geran kompetitif kepada NGO warga emas yang benar- benar aktif tanpa mengira latar belakang organisasi. Yang penting ialah impaknya kepada masyarakat.
Tuan Yang di-Pertua, dalam isu dan naratif yang dimainkan oleh dua orang Ahli Parlimen daripada Jelutong dan Kampar dalam Dewan yang mulia ini berkaitan indeks jenayah di Kelantan. Saya ingin mengingatkan supaya berhati-hati dalam membuat tuduhan terhadap sesebuah negeri. Jika ingin mengkritik dasar kerajaan negeri adalah perkara biasa dalam demokrasi tetapi membina persepsi buruk terhadap rakyat Kelantan berdasarkan dakwaan yang tidak disokong data, adalah tidak adil.
Data rasmi daripada Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) perlu dijadikan rujukan, bukan sentimen politik atau persepsi media sosial. Jangan kerana perbezaan politik, seluruh rakyat Kelantan dihukum dengan label yang tidak tepat.
Tuan Yang di-Pertua, isu jenayah adalah tanggungjawab keselamatan negara, bukan semata-mata kerajaan negeri jika ada dakwaan bahawa kadar jenayah tinggi di suatu negeri. Persoalan utama ialah siapakah yang bertanggungjawab menjaga keselamatan dan ketenteraman awam? Adakah kegagalan membanteras jenayah hanya terletak pada satu pihak sedangkan semua agensi penguatkuasaan terletak di bawah Persekutuan? Maka, adalah tidak wajar menyalahkan kerajaan negeri semata-mata apabila berlaku peningkatan jenayah.
Jika guna logiknya, adakah semua jenayah tinggi yang di Selangor, di Pulau Pinang dan lain-lain yang mengatasi Kelantan berpunca daripada kegagalan kerajaan negeri? Kita perlu menggunakan ukuran yang sama kepada semua negeri.
Jangan gunakan pendekatan pilih bulu apabila berlaku di negeri tertentu, salahkan kerajaan negeri tetapi apabila berlaku di negeri lain, diam seribu bahasa.
Kerajaan Negeri Kelantan sendiri telah mengeluarkan kenyataan media, menjawab segala tuduhan Jelutong dan Teluk Intan baru-baru ini. Kerajaan negeri sedang meneliti tindakan undang-undang yang bersesuaian terhadap pihak-pihak berkaitan yang didakwa mengeluarkan tuduhan berniat jahat sehingga mencemarkan imej dan reputasi kerajaan negeri.
Tuan Yang di-Pertua, isu kesihatan awam dan jenayah merupakan cabaran nasional yang memerlukan komitmen serta kerjasama semua pihak tanpa mengira latar belakang politik. Isu-isu tersebut tidak sewajarnya dijadikan modal politik untuk menyerang atau memburukkan mana-mana negeri, sebaliknya perlu ditangani secara matang, berasaskan fakta dengan semangat tanggungjawab bersama.
Hanya dengan berpegang kepada fakta serta statistik yang sahih, usaha menangani cabaran sosial dapat dilaksanakan secara lebih berkesan, demi kesejahteraan rakyat dan kemajuan negara.
Tuan Yang di-Pertua, Kelantan mempunyai rekod tadbir urus yang perlu dihormati selama lebih 36 tahun ditadbir oleh kerajaan yang sama. Dalam tempoh tersebut, Kelantan tidak berhadapan dengan skandal rasuah besar yang melibatkan kepimpinan tertinggi kerajaan negeri. Ini adalah satu rekod integriti yang wajar diiktiraf, bukan dipandang sebelah mata.
Dalam politik, kita boleh berbeza pandangan tetapi kita perlu menghormati fakta kestabilan pentadbiran, disiplin kewangan, integriti pemimpin, hubungan kerajaan dengan rakyat serta menghormati konsep federalisme dan hubungan negeri dengan Pusat. Jadi, kenapa kita boleh— jadi, kenapa tidak boleh jadikan Kelantan sebagai contoh budaya integriti, bukan bahan serangan?
Negeri-negeri lain termasuk negeri yang sering dianggap maju seperti Pulau Pinang juga boleh mengambil iktibar daripada aspek integriti dan ketelusan. Jangan kerana perbezaan fahaman politik, kita menghukum seluruh rakyat Kelantan dengan persepsi yang tidak tepat. Kalau benar mahu membina Malaysia yang lebih baik, marilah kita menilai negeri berdasarkan fakta, bukan fitnah. Berdasarkan data, bukan sentimen. Jenayah perlu ditangani dengan penguatkuasaan yang berkesan. Rasuah perlu dibanteras di mana sahaja ia berlaku dan integriti mesti dihormati tanpa mengira warna politik. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Terima kasih Yang Berhormat Kuala Krai. Saya jemput Yang Berhormat Shah Alam.
Tuan Haji Azli bin Yusof - Shah Alam
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam sejahtera, salam Malaysia MADANI.
Terima kasih Puan Yang di-Pertua kerana memberi peluang kepada saya mengambil bahagian dalam perbahasan Laporan Tahunan SUHAKAM 2024. Saya ingin merujuk kepada satu isu yang semakin meresahkan rakyat iaitulah pengurusan pelarian Rohingya di Malaysia sebagaimana yang dilaporkan SUHAKAM pada muka surat 162, 214 dan 229.
Tuan Yang di-Pertua, tiga minggu lalu, negara dikejutkan dengan isu penempatan warga Rohingya di Hulu Langat yang mencetuskan kebimbangan penduduk setempat dan mendapat reaksi rakyat seluruh negara. Bantahan yang berlaku bukan semata-mata kerana soal kaum atau agama, tetapi kerana timbul persoalan tentang keselamatan, kesesakan, kebersihan, pematuhan undang- undang dan kegagalan pihak berkuasa mengurus penempatan tersebut dengan lebih tersusun.
Media sosial pula dipenuhi dengan pelbagai dakwaan, kebencian dan fitnah sehingga akhirnya sukar membezakan antara pelarian sebenar, pendatang ekonomi dan anggota sindiket. Keadaan ini jika tidak ditangani dengan betul, amat berbahaya kerana ia boleh mencetuskan ketegangan sosial yang lebih besar.
Puan Yang di-Pertua, dalam membincangkan isu ini, kita tidak boleh melihatnya secara hitam atau putih. Ada pihak yang memperjuangkan hak asasi manusia, ada pula pihak yang mempertahankan keselamatan dan kedaulatan negara. Bagi saya, kedua-duanya mesti berjalan seiring. Malaysia tidak boleh menjadi negara yang menutup pintu hati tetapi Malaysia juga tidak boleh menjadi negara yang membuka pintu sempadan tanpa kawalan. Inilah keseimbangan yang perlu kita capai.
Saya menghargai dan menghormati penegasan SUHAKAM bahawa setiap manusia termasuk pelarian dan pencari suaka mempunyai hak kepada layanan bermaruah, perlindungan daripada eksploitasi, akses kepada pendidikan asas serta layanan yang adil selaras dengan prinsip hak asasi manusia. Namun, kita juga harus ingat bahawa hak asasi manusia tidak boleh dibincangkan tanpa mengambil kira hak rakyat Malaysia sendiri. Justeru itu, apabila berlaku penempatan yang tidak terkawal, kemasukan tanpa dokumen, eksploitasi buruh, penyeludupan manusia dan peningkatan keresahan masyarakat, kerajaan wajib bertindak.
Puan Yang di-Pertua, Malaysia sebenarnya berada dalam kedudukan yang sangat unik. Kita bukan penandatangan Konvensyen Status Pelarian 1951. Namun, kita menempatkan 215,000 pelarian dan pencari suaka termasuk daripada etnik Rohingya yang direkodkan UNHCR berjumlah 126,000. 64,700 ataupun 46 peratus adalah merupakan kanak-kanak di bawah 18 tahun.
Tuan Haji Azli bin Yusof - Shah Alam
Ini bermaksud Malaysia telah lama memikul tanggungjawab kemanusiaan tanpa obligasi undang-undang antarabangsa. Persoalannya, sampai bila Malaysia perlu menanggung beban ini secara bersendirian?
Mengapa negara-negara maju yang sering bercakap tentang hak asasi manusia tidak menerima lebih ramai pelarian? Mengapa negara-negara ASEAN masih gagal mencari penyelesaian yang tuntas terhadap krisis Myanmar? Mengapa negara transit seperti Malaysia terus menanggung kos sosial, ekonomi dan keselamatan? Persoalan-persoalan inilah yang mesti kita jawab.
Puan Yang di-Pertua, pada 19 Mei, baru-baru ini, Menteri Kementerian Dalam Negeri maklum, kerajaan sedang mengusahakan Pusat Pengasingan Pelarian dan Pemohon Suaka (PPKPPS) di Bidor, Perak sebagai projek rintis. Saya ucapkan syabas dan tahniah kepada Kerajaan MADANI kerana berusaha untuk menyelesaikan pengurusan isu pelarian Rohingya ini secara tuntas dan berstruktur.
Pendekatan ini sudah tentu jauh lebih baik...
Tuan Mohd Sany bin Hamzan - Hulu Langat
Shah Alam, Shah Alam. Tadi bila disebut berkaitan dengan Hulu Langat, isu Rohingya ini ialah saya pun di antara orang yang difitnahlah bila isu 600,000 ini. Sebab isu 600,000 ini sebenarnya, itu angka bajet yang diputuskan oleh pejabat daerah— maksudnya hendak meruntuhkan, hendak merobohkan semula rumah yang dikatakan rumah flat itu.
Inilah fitnah.
Cuma, saya hendak tanya dengan Shah Alam, ada tak negara-negara yang menguruskan soal berkaitan dengan etnik Rohingya ini yang kita Malaysia boleh jadikan sebagai satu contohlah. Sebab, etnik Rohingya ini kalau dia kata kita tangkap dia, kita letakkan dia dekat kem tahanan, kita hendak hantar dia balik, sebab dia tak sama dengan pelarian-pelarian ataupun tak sama dengan PATI-PATI daripada Indonesia ke, daripada Myanmar ke ataupun daripada Vietnam.
Sebab bila kita tangkap, kita hantar dekat kem tahanan, kita hantar dia balik, maksudnya negara dia kena terima. Tetapi, kalau yang Rohingya ini kita tangkap dia, kita hantar dia balik, maksudnya, baik kita bunuh dia dekat Malaysia ini sahaja. Jadi, saya hendak tahu, saya hendak tahu daripada Shah Alam itu sendiri. Maksudnya, ada tak maksudnya negara-negara yang boleh kita jadikan sebagai contoh untuk kita menguruskan etnik Rohingya yang terdapat di dalam negara kita? Terima kasih Shah Alam, terima kasih Speaker.
Tuan Haji Azli bin Yusof - Shah Alam
Saya— terima kasih Yang Berhormat Hulu Langat. Saya ada juga merujuk kepada beberapa buah negara ASEAN yang berjiran dengan kita, semuanya mengambil pendekatan yang sama iaitu menerima pelarian Rohingya ini di atas sifat dan juga dasar kemanusiaan.
Dan juga mereka mengambil pendekatan UNHCR sebagai suatu badan yang mendaftarkan mereka sebelum mereka ini dihantar ke negara ketiga yang menerima pelarian.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Sila gulung.
Tuan Haji Azli bin Yusof - Shah Alam
Ya. Tadi di Bidor tadi, Puan Yang di- Pertua, syabas kepada Kerajaan MADANI kerana berusaha untuk menyelesaikan pengurusan isu pelarian Rohingya ini secara tuntas. Pendekatan ini jauh lebih baik daripada penempatan yang berselerak sehingga menimbulkan konflik dengan masyarakat setempat.
Soalan saya yang keakhirannya ini ialah apakah status PPKPPS ini, sudah kah ia diangkat ke Kabinet untuk dimuktamadkan? Tuan Yang di-Pertua, sebagai penggulungannya, kemanusiaan tanpa kedaulatan akan mengundang kekacauan.
Kedaulatan tanpa kemanusiaan pula akan menghilangkan nilai sebuah negara yang bertamadun.
Malaysia tidak boleh menjadi tempat yang membiarkan manusia mati. Tidak boleh Hulu Langat ya. Tetapi Malaysia juga tidak boleh menjadi tempat yang membiarkan undang-undang mati. Undang-undang harus dinamik sifatnya.
Dengan itu saya menyokong agar syor-syor SUHAKAM yang bersesuaian dipertimbangkan oleh kerajaan dengan syarat pelaksanaannya sentiasa berpaksikan dua prinsip utama iaitu kedaulatan negara dan kemajuan sejagat. Sekian, terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Terima kasih Yang Berhormat Shah Alam. Saya jemput Yang Berhormat Rantau Panjang.
Dato’ Hajah Siti Zailah binti Mohd Yusoff - Rantau Panjang
Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua kerana memberi peluang kepada saya untuk sama-sama membahaskan laporan SUHAKAM tahun 2024. Dan kita menyokong segala usaha untuk mengukuhkan perlindungan hak asasi manusia di negara ini.
Walau bagaimanapun, dalam memperjuangkan hak asasi ini kita perlu sentiasa menghormati asas Perlembagaan Persekutuan, yang mana Perkara 3 memperuntukkan bahawa Islam adalah agama Persekutuan dan Perkara 11 menjamin kebebasan beragama dalam kerangka undang-undang negara.
Saya ingin penjelasan daripada pihak kementerian, berapa jumlah ratifikasi atau perjanjian telah ditangani di peringkat antarabangsa yang melibatkan hak asasi manusia, termasuk juga yang berkaitan dengan wanita dan sejauh mana pelaksanaan, terutama melibatkan hak asasi wanita dalam negara kita setakat ini?
Sebagaimana yang telah ditandatangani. Dan apakah cadangan kerajaan akan menggubal Rang Undang-undang (RUU) Anti Diskriminasi Terhadap Wanita dan juga RUU Pariti Jantina 30 peratus untuk selaras dengan ratifikasi yang telah dilaksanakan di peringkat antarabangsa.
Saya ingin tahu juga, berapa jumlah tenaga pakar yang berada dalam SUHAKAM terutama yang mempertimbangkan isu-isu yang berkaitan dengan orang Islam. Sebab kita tak mahu hak-hak asasi yang bercanggah dengan Islam seperti LGBT dan sebagainya diberi layanan dan ini adalah satu bercanggah dengan hak sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan negara kita.
Saya ingin penjelasan juga berkaitan dengan baru-baru ini satu pengumuman kerajaan melalui Jabatan Wilayah Persekutuan berhubung dengan Projek Pembangunan Tapak Perkuburan Awam Wilayah Persekutuan menerusi kaedah kerjasama awam swasta yang mana cadangan ini telah dibuat oleh Jabatan Wilayah Persekutuan. Jadi kita menghargai usaha yang telah dibuat oleh kerajaan untuk penyediaan tanah tapak perkuburan baharu terutama yang terdesak di Wilayah Persekutuan, yang mana tanah perkuburan yang semakin terhad.
Namun dia tidaklah menyebabkan hak asasi umat Islam ini terabai terutama yang melibatkan keperluan fardu kifayah umat Islam. Jadi, apakah justifikasi apabila kerajaan mencadangkan projek ini akan dilaksanakan dengan pihak swasta?
Siapakah yang akan mengawal pengurusan tanah perkuburan ini? Siapakah yang akan menentukan dasar? Siapakah yang akan menentukan kadar caj? Berapakah tempoh konsesi? Dan apa jaminan tanah perkuburan ini tidak berubah menjadi sektor perniagaan yang berorientasikan perniagaan?
Jadi, sedangkan kita semua tahu tanah perkuburan Islam ini adalah perasanan wajib yang dilaksanakan oleh kerajaan, memenuhi fardu kifayah. Dia perlu dimanfaatkan oleh semua masyarakat. Dan kita tidak mahu dalam pelaksanaan ini menyebabkan umat Islam teraniaya mungkin dengan caj akibat daripada penswastaan ini menyebabkan membebankan terutama kos pembumian jenazah dan wujud monopoli dalam pengurusan tanah perkuburan. Dan kita tidak mahu isu kematian menjadi sumber keuntungan korporat.
Jadi saya ingin tahu apakah— usaha apakah, usaha yang telah dibuat oleh kerajaan untuk memastikan dalam pelaksanaan ini tidak menjejaskan hak asasi orang Islam.
Yang kedua Tuan Yang di-Pertua, saya ingin penjelasan iaitu berkaitan dengan hak asasi yang berkaitan dengan kanak-kanak. Yang kita semua tahu, hak kanak-kanak berhak untuk mendapat ataupun belajar dalam suasana yang selamat.
Pendidikan hari ini kita lihat gagal membentuk akhlak yang baik.
Di mana hak kanak-kanak hari ini untuk hidup tanpa dibuli, dizalimi, tertekan hingga ada yang nak membunuh diri. Krisis buli ini gagal kita tangani dengan baik.
Jadi tragedi yang terbaru sebagaimana yang kita semua tahu, tikaman melibatkan pelajar sekolah ini adalah satu ancaman menyebabkan ramai di kalangan kanak- kanak rasa terancam pergi ke sekolah.
Jadi, sejauh mana usaha yang telah dibuat oleh kementerian untuk menangani isu terutama pelajar-pelajar ini supaya mereka tidak merasa tidak selamat di sekolah. Sekolah tempat menimbul ilmu, gedung ilmu, sepatutnya bukan dijadikan tempat yang menakutkan. Jadi apa usaha kerajaan untuk bina sistem yang benar-benar mencegah kezaliman?
Kita tidak mahu apabila berlaku kematian, barulah tindakan nak diambil dan sekarang ini kes telah berulang-ulang kali. Jadi saya ingin tahu, sejauh mana usaha yang telah dibuat untuk melahirkan sekolah yang selamat, memenuhi hak asasi anak-anak supaya mereka ini belajar dengan selamat.
Seterusnya, Tuan Yang di-Pertua, saya ingin penjelasan berkenaan dengan hak wanita terutama juga perlindungan kepada keluarga dan sebagainya. Sebab hak ini amat penting untuk memastikan supaya dapat pelihara institusi keluarga dengan baik. Sejauh mana dasar yang digubal, dasar yang benar-benar mesra wanita, dasar yang benar-benar mesra keluarga, supaya hak ini dapat dilaksanakan dengan terbaik untuk kesejahteraan negara kita.
Dato’ Hajah Siti Zailah binti Mohd Yusoff - Rantau Panjang
Begitu juga berkaitan dengan hak kanak-kanak yang berkaitan dengan masalah ancaman siber. Hari ini kita lihat perlindungan kanak-kanak tidak boleh dihadkan lagi kepada penderaan fizikal kerana kanak-kanak hari ini berhadapan dengan ancaman buli siber, ketagihan media sosial, pornografi digital, eksploitasi seksual, perjudian dalam talian, penyalahgunaan dadah, budaya songsang yang semakin mudah diakses melalui platform digital dan sebagainya.
Semua ini adalah pelanggaran hak kanak-kanak untuk membesar dalam persekitaran yang sihat dan bermaruah. Sejauh mana program ini ditangani? Apakah program-program pembangunan rohani, pembangunan jiwa, pembangunan akhlak yang telah diterapkan untuk berdepan dengan pelbagai krisis ini? Saya harap perkara ini diambil perhatian.
Jadi, saya mengemukakan beberapa cadangan, Tuan Yang di-Pertua. Yang pertama, reformasi kurikulum pendidikan negara supaya pembangunan sahsiah, adab, akhlak, pendidikan, karakter dan nilai agama diberi keutamaan setanding dengan kecemerlangan ekonomi.
Saya mencadangkan yang kedua supaya mewujudkan sistem sokongan, terutama yang berkaitan dengan psychospiritual di setiap sekolah yang menggabungkan kepakaran psikologi, kaunseling, profesional, pendekatan kerohanian bagi membantu pelajar menangani tekanan emosi sebelum ataupun― sebab, banyak kes bunuh diri dan sebagainya berlaku hari ini.
Ketiga, setiap syor SUHAKAM hendaklah dipantau pelaksanaannya melalui jawatankuasa pemantau rentas kementerian dan laporan kemajuan dibentang secara berkala kepada Parlimen agar syor-syor tersebut tidak berakhir sebagai dokumen tahunan semata-mata.
Yang keempat, saya mencadangkan supaya memperkukuhkan perlindungan terhadap kanak-kanak dalam dunia digital melalui kawalan kandungan berbahaya, pendidikan, literasi digital dan kerjasama lebih erat antara kementerian dan pengendali platform serta ibu bapa.
Dan akhirnya, saya mencadangkan supaya membangunkan dasar hak asasi manusia yang berteraskan maqasid syariah selaras dengan Perlembagaan Persekutuan supaya keseimbangan antara hak individu, kepentingan keluarga, ketenteraman masyarakat dan kedaulatan negara dapat dipelihara.
Sekian, Tuan Yang di-Pertua.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Terima kasih, Yang Berhormat Rantau Panjang. Saya jemput Yang Berhormat Tampin.
Dato’ Mohd Isam bin Mohd Isa - Tampin
Bismillahirrahmanirrahim. Terima kasih Puan Yang di-Pertua kerana memberi peluang kepada saya untuk turut sama mengambil bahagian dalam perbahasan Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan SUHAKAM bagi Tahun 2024.
Izinkan saya memulakan perbahasan Laporan SUHAKAM kali ini dengan satu persoalan besar kepada kerajaan. Apakah acuan hak asasi manusia yang mahu dibentuk di Malaysia? Adakah acuan Malaysia yang berteraskan Perlembagaan Persekutuan? Atau sedikit demi sedikit kita sedang dibawa kepada acuan barat yang akhirnya meletakkan instrumen antarabangsa lebih tinggi daripada roh Perlembagaan negara.
Kerana apabila saya membaca laporan SUHAKAM ini, saya dapati terdapat satu pola yang amat jelas iaitu SUHAKAM bukan lagi sekadar menerima aduan dan mendidik masyarakat mengenai hak asasi, sebaliknya SUHAKAM semakin aktif membentuk naratif dasar negara melalui pelbagai cadangan pembaharuan undang- undang, penglibatan dan mekanisme hak asasi antarabangsa, pembangunan modul pendidikan serta advokasi terhadap pelbagai konvensyen antarabangsa.
Persoalannya, siapakah yang menentukan sepadan kepada agenda-agenda ini? Adakah SUHAKAM ataupun kerajaan ataupun Perlembagaan Persekutuan?
Bagi saya, jawapannya hanya satu, iaitu Perlembagaan Persekutuan. Bukan deklarasi luar negara, bukan tekanan NGO antarabangsa dan bukan juga tafsiran yang berubah mengikut arus politik global.
Puan Yang di-Pertua, saya cukup tertarik kepada laporan ini menunjukkan SUHAKAM sedang memperluaskan pendidikan hak asasi di sekolah-sekolah, institut pendidikan guru, pegawai kerajaan, pasukan polis, hakim, majistret serta pelbagai institusi awam yang lain. Ini bukan perkara kecil ataupun program yang kecil yang boleh diambil mudah. Saya sifatkan usaha ini sebagai satu proses untuk membentuk pemikiran generasi pada masa akan datang.
Justeru itu, saya ingin mendapatkan penjelasan kerajaan, siapakah individu atau badan yang diberikan autoriti untuk menyemak segala usaha kandungan modul- modul tersebut? Adakah Kementerian Pendidikan, Majlis Raja-raja, JAKIM, pakar Perlembagaan atau hanya SUHAKAM sendiri? Hal ini kerana modul ini hanya menekankan hak individu semata-mata tanpa menerangkan batas-batas Perlembagaan. Maka, kita sebenarnya sedang melahirkan generasi yang memahami hak tetapi tidak memahami tanggungjawab.
Puan Yang di-Pertua, bahasa mudahnya ialah generasi yang fasih bercakap mengenai kebebasan tetapi gagal atau tidak memahami sempadan kebebasan.
Dalam erti kata lainnya, generasi yang mahu menuntut hak tetapi tidak diajar untuk menghormati institusi negara. Perkara ini boleh disifatkan sebagai pendidikan tetapi indoktrinasi.
Puan Speaker, selain itu, laporan kali ini turut menunjukkan SUHAKAM terus memberikan perhatian terhadap isu pelarian dan turut menganjurkan program yang melibatkan UNHCR. Hal ini termasuklah pendedahan kepada para peserta mengenai kehidupan sebagai pelarian. Tambahan pula, kejohanan debat anjuran SUHAKAM juga turut memilih usul mengenai ratifikasi Konvensyen Pelarian 1951.
Justeru itu, saya ingin membangkitkan persoalan kepada kerajaan, adakah itu bermakna atau merupakan petanda bahawa kerajaan sedang bergerak secara perlahan-lahan ke arah penerimaan ratifikasi Konvensyen Pelarian 1951? Jika jawapannya tidak, saya mohon supaya kerajaan menyatakan dengan jelas kerana rakyat berhak mengetahui pendirian kerajaan. Jangan dibiarkan dasar negara berubah-ubah secara beransur-ansur melalui program dan naratif tanpa penjelasan rasmi kepada Parlimen.
Apabila bercakap soal kemanusiaan, sudah tentunya rakyat Malaysia cukup prihatin. Walau bagaimanapun, pada masa yang sama, rakyat Malaysia juga mahukan keselamatan negara dipertahankan. Rata-rata rakyat Malaysia di seluruh negara sudah tentunya mahu sempadan negara terus dihormati. Jangan sampai disebabkan perjuangan atas hak asasi, akhirnya rakyat Malaysia sendiri yang terpaksa menanggung akibat.
Puan Yang di-Pertua, sebagai orang Islam, saya juga menyentuh satu perkara yang amat penting. Dalam laporan ini ada menyebut bahawa SUHAKAM sedang memperkukuh agenda Islam dan hak asasi manusia melalui lawatan-lawatan ke pejabat-pejabat mufti, penulisan khutbah Jumaat dan pembangunan bahan berkaitan Hadis 40 hak asasi manusia.
Saya memang amat mengalu-alukan segala usaha ini, tetapi saya ingin mendapatkan penjelasan. Adakah semua pendirian SUHAKAM dalam isu-isu sensitif berkaitan agama Islam selepas ini akan dirujuk kepada pihak berkuasa agama? Atau kerjasama dengan pejabat mufti hanyalah sekadar memenuhi tuntutan program tahunan?
Pada kesempatan ini, saya menggesa supaya kerajaan mewujudkan majlis penasihat syariah atau mekanisme tetap yang boleh memberikan pandangan terhadap cadangan atau modul SUHAKAM apabila melibatkan isu-isu berkaitan agama Islam. Perkara ini cukup penting untuk memastikan bahawa tafsiran hak asasi hendaklah selaras dengan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan. Hal ini kerana bagi umat Islam di negara ini, Islam bukan hanya sekadar satu hak tetapi Islam merupakan asas kepada identiti negara.
Puan Yang di-Pertua, izinkan saya mengakhiri perbahasan ini dengan satu peringatan. Hari ini kita bercakap mengenai modul, esok pula kita bercakap mengenai dasar, lusa mungkin kita bercakap mengenai pindaan undang-undang.
Semuanya bermula dengan perubahan naratif dan sejarah juga telah membuktikan bahawa sesebuah negara tidak akan berubah kerana satu akta tetapi ianya berubah apabila cara atau corak pemikiran rakyat mula berubah.
Oleh sebab itu, saya menyeru kepada kerajaan supaya menetapkan satu prinsip ataupun sempadan yang tidak boleh dikompromi. Maksud saya, apa juga agenda atau kehendak hak asasi manusia di Malaysia ini, ideologi tersebut mesti tetap tunduk kepada Perlembagaan Persekutuan, bukan Perlembagaan yang terpaksa tunduk kepada tafsiran hak asasi.
Sekian, terima kasih, Puan Yang di-Pertua.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Terima kasih, Yang Berhormat Tampin. Sekarang saya menjemput Yang Berhormat Timbalan Menteri Kewangan untuk menjawab. Masa 10 minit.
Timbalan Menteri Kewangan - Tuan Liew Chin Tong
Terima kasih, Puan Yang di-Pertua. Saya mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan terima kasih kepada semua Ahli Yang Berhormat yang telah mengambil bahagian dalam sesi perbahasan sebentar tadi. Saya mengikuti dengan tekun sesi perbahasan dan seramai enam Ahli Yang Berhormat iaitu Yang Berhormat Kota Melaka, Indera Mahkota, Tuaran, Rasah, Bagan Serai dan Kulim-Bandar Baharu telah menyentuh secara langsung isu berkaitan Kementerian Kewangan berhubung Laporan Tahunan SUHAKAM Tahun 2024 iaitu berkisar peruntukan kepada SUHAKAM.
Berhubung pandangan Yang Berhormat Kota Melaka, Yang Berhormat Indera Mahkota dan Yang Berhormat Tuaran agar kerajaan meningkatkan peruntukan kepada SUHAKAM, sebagaimana yang dilaporkan dalam laporan yang dibentangkan, kerajaan pada tahun 2024 telah meluluskan geran sebanyak RM13.55 juta kepada SUHAKAM. Geran ini bagi menampung perbelanjaan operasi yang meliputi elaun tetap pesuruhjaya, emolumen, operasi, sewaan seperti sewaan utiliti dan sebagainya, pelaksanaan program dan aktiviti tahunan SUHAKAM.
Timbalan Menteri Kewangan - Tuan Liew Chin Tong
Pemberian geran tersebut adalah berdasarkan sesi semakan Belanjawan 2024, prestasi belanjawan pihak SUHAKAM dan kemampuan kewangan kerajaan pada masa tersebut. Sejak penubuhannya, kerajaan tidak pernah gagal menyediakan peruntukan untuk SUHAKAM.
Bagi menjawab persoalan daripada Yang Berhormat Rasah berhubung peruntukan kewangan Pejabat Pesuruhjaya Kanak-kanak pada tahun 2025.
Kerajaan telah menyediakan geran sebanyak RM15.77 juta kepada SUHAKAM untuk operasi secara keseluruhan, termasuk Pejabat Pesuruhjaya Kanak-kanak.
Peruntukan ini telah meningkat sebanyak RM2.2 juta berbanding tahun 2024 yang saya sebut tadi.
Puan Yang di-Pertua, kerajaan mengambil maklum pandangan Yang berhormat Bagan Serai dan Yang Berhormat Kulim-Bandar Baharu berhubung aspek perlindungan sosial dan jaminan persaraan bagi pekerja sektor tidak formal serta ekonomi gig. Seiring dengan peningkatan penyertaan rakyat dalam sektor ini, kerajaan komited memastikan golongan berkenaan tidak tercicir daripada mempunyai simpanan persaraan yang mencukupi.
Bagi tujuan tersebut, kerajaan meneruskan Program i-Saraan dalam Belanjawan 2026 bagi menggalakkan penyertaan pekerja sektor tidak formal mencarum secara sukarela ke dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja. Melalui penambahbaikan ini, kerajaan menawarkan insentif padanan pada kadar 20 peratus daripada jumlah caruman tahunan individu, tertakluk kepada had maksimum RM500 setahun atau RM5,000 sepanjang hayat, mengikut terma dan syarat yang ditetapkan.
Di samping itu, bermula tahun 2026, KWSP turut memperkenalkan Program i-Saraan Plus yang memberi tumpuan khusus kepada pekerja e-hailing dan p-hailing berasaskan platform. Melalui inisiatif ini, golongan berkenaan layak menerima insentif padanan kerajaan sehingga RM600 setahun atau RM6,000 sepanjang hayat, tertakluk kepada terma dan syarat yang ditetapkan.
Pada masa yang sama, kerajaan melalui KWSP, sedang meneliti mekanisme yang lebih bersesuaian bagi memperluaskan liputan caruman kepada pekerja sektor tidak formal dan ekonomi gig. Usaha ini bertujuan memastikan lebih ramai pekerja dalam sektor berkenaan mempunyai perlindungan sosial yang lebih baik serta simpanan persaraan yang mencukupi demi menjamin kesejahteraan mereka pada masa hadapan.
Pada dasarnya, secara kesimpulan, kerajaan komited dalam memastikan SUHAKAM dapat beroperasi dan memenuhi objektif penubuhannya. Dalam hal ini, peruntukan yang sewajarnya akan dipertimbangkan oleh kerajaan berdasarkan kepada keperluan SUHAKAM dan tertakluk kepada kemampuan semasa kerajaan.
Sekian, terima kasih.
Tuan Khoo Poay Tiong - Kota Melaka
Timbalan Menteri, Kota Melaka.
Timbalan Speaker, tentang peruntukan untuk SUHAKAM. Berapakah geran yang akan diberi untuk bagi tahun 2025? Tadi jawapan ialah untuk 2024 yang...
Tuan Liew Chin Tong
Sebenarnya saya sudah jawab tadi. Untuk 2024 iaitu sebanyak RM13.55 juta dan untuk tahun 2025, sebanyak RM15.77 juta telah diperuntukkan untuk SUHAKAM.
Tuan Khoo Poay Tiong - Kota Melaka
Jadi, untuk tahun 2026, adakah geran itu akan ditambah memandangkan aduan telah meningkat?
Tuan Liew Chin Tong
Saya akan jawab secara bertulis.
Tuan Khoo Poay Tiong - Kota Melaka
Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Terima kasih Yang Berhormat Timbalan Menteri Kewangan. Sekarang saya jemput Yang Berhormat Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah untuk menjawab. Masa sepuluh minit.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah - Datuk Hajah Rubiah binti Wang
Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Tuan Yang di-Pertua, terlebih dahulu saya ingin mengucapkan tahniah kepada Ahli Yang Berhormat sekalian di atas penglibatan di dalam perbahasan Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan Suruhanjaya Hak Asas Manusia Malaysia
(SUHAKAM) pada tahun 2024 di Dewan yang mulia ini.
Semasa perbahasan Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan SUHAKAM 2024, seramai 10 orang Ahli Yang Berhormat iaitu YB Besut, YB Sik, YB Puncak Borneo, YB Kulim-Bandar Baharu, YB Arau, YB Parit, YB Kampar, YB Hulu Selangor, YB Betong dan YB Lubok Antu yang telah berbahas mengajukan pertanyaan dan saranan berkaitan Laporan Inkuiri Nasional Mengenai Hak Tanah Orang Asli, pindaan Akta Orang Asli 1954 [Akta 134] dan keperluan hak asasi masyarakat luar bandar atau pedalaman bagi infrastruktur asas dan pembangunan ekonomi. Perkara yang berbangkit adalah di bawah bidang tanggungjawab Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah.
Tuan Yang di-Pertua, untuk makluman Dewan, setiap syor dalam Laporan Inkuiri Nasional Mengenai Hak Tanah Orang Asli 2013 yang melibatkan hal ehwal tanah telah diambil tindakan dalam pindaan Akta Orang Asli 1954 [Akta 134] dan Dasar Pembangunan Orang Asli. Malah, perkembangan syor tersebut juga telah dibentangkan kepada pihak SUHAKAM semasa sesi kunjungan hormat SUHAKAM ke atas Ketua Pengarah JAKOA yang berlangsung pada 9 Mac 2026 yang lalu.
Yang Berhormat Besut, Yang Berhormat Sik, Yang Berhormat Puncak Borneo, Yang Berhormat Kulim-Bandar Baharu, Yang Berhormat Arau, Yang Berhormat Parit, Yang Berhormat Kampar dan Yang Berhormat Hulu Selangor telah membangkitkan pertanyaan berkaitan dengan langkah yang telah diambil oleh kerajaan, termasuk melalui kerjasama dengan kerajaan negeri bagi menangani isu pencerobohan tanah adat serta mempercepatkan proses pengiktirafan hak tanah adat masyarakat orang asli dan komuniti pribumi secara menyeluruh.
Begitu juga bagaimana kerajaan memastikan penyertaan bermakna orang asli dalam rangka dasar kemajuan tanah adat berdasarkan konsep free, prior and informed consent (FPIC) bagi menjamin budaya dan identiti tradisional mereka tidak terjejas. Dan seterusnya, apakah status pelaksanaan syor yang dikemukakan melalui Inkuiri Nasional mengenai hak asasi, hak tanah orang asli/orang asal dan cadangan mempertimbangkan semula syor mengenai penubuhan suruhanjaya kebangsaan yang bebas mengenai orang asli?
Kerajaan Persekutuan memandang serius kebimbangan yang dibangkitkan berkaitan dengan tanah adat. Walau bagaimanapun, urusan membabitkan tanah, termasuk berkaitan tanah adat, adalah terletak di bawah bidang kuasa mutlak kerajaan negeri sepertimana yang termaktub di bawah Senarai Negeri, Jadual Kesembilan.
Justeru, JAKOA sentiasa mempraktikkan pendekatan advokasi harmoni dengan pihak berkuasa negeri bagi sebarang urusan berkaitan tanah yang dilaksanakan dari semasa ke semasa.
Berdasarkan syor yang telah dikemukakan dalam Inkuiri Nasional berkenaan, JAKOA telah melaksanakan usaha-usaha seperti berikut. Pertama, pewartaan tanah orang asli bersama kerajaan negeri. Berdasarkan data sehingga Mei 2026, daripada 853 buah kampung orang asli yang diiktiraf, sebanyak 315 kampung orang asli telah berjaya diwartakan. Manakala, permohonan pewartaan 363 kampung orang asli telah dikemukakan kepada pihak berkuasa negeri untuk kelulusan.
Begitu juga 68 kampung orang asli masih dalam proses pengukuran oleh juruukur tanah berlesen bagi tujuan berkenaan. Bagi mempercepatkan proses kelulusan pewartaan, JAKOA sentiasa mengadakan sesi perbincangan dan libat urus bersama dengan pihak berkuasa negeri yang berkenaan. Dan terkini, Bengkel Penyelarasan Pewartaan Tanah Rizab Orang Asli di negeri Pahang yang akan diadakan pada 8 hingga 10 Julai 2026.
Yang kedua, berkaitan dengan pampasan. Kepentingan orang asli yang terlibat dalam mana-mana pembangunan tanah turut dilindungi melalui peruntukan seksyen 11 dan 12, [Akta 134] Akta Orang Asli 1954. Berhubung dengan ini, JAKOA berperanan sebagai pemudah cara dengan pihak yang terlibat dan memastikan masyarakat orang asli mendapat pampasan yang wajar sekiranya pembangunan yang dilaksanakan menjejaskan budaya dan cara hidup mereka.
Seterusnya, setiap projek pembangunan yang bersempadan ataupun melibatkan kawasan penempatan, orang asli diwajibkan melalui proses libat urus yang telus sejak peringkat awal perancangan. Komuniti setempat diberi maklumat yang lengkap dalam bahasa yang mudah difahami agar mereka dapat membentuk keputusan tanpa sebarang unsur paksaan (free) sebelum projek diluluskan (prior) dan berasaskan maklumat yang telus (informed).
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah - Datuk Hajah Rubiah binti Wang
Dalam hal ini, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) bertindak sebagai pemudah cara dan orang tengah bagi memastikan suara kebimbangan dan persetujuan masyarakat orang asli dihormati sepenuhnya oleh pihak pemaju mahupun agensi kerajaan. Sebagai contoh, JAKOA dilibatkan dalam proses awal pembangunan yang melibatkan kepentingan orang asli seperti Kajian Impak Sosial
(SIA) dan Kajian Impak Alam Sekitar (EIA).
Bagi menghormati prinsip free, prior, and informed consent, setiap aktiviti atau program yang memerlukan kelulusan Ketua Pengarah JAKOA turut merangkumi ya, persetujuan mandatori daripada institusi tok batin/penghulu sebelum dilaksanakan di kawasan reserve ataupun tempat tinggal yang diduduki oleh masyarakat orang asli. Langkah ini adalah selaras dengan prinsip self-determined ataupun hak penentuan kendiri masyarakat orang asli seperti yang digariskan dalam United Nations Declaration on the Rights of Indigenous Peoples yang disokong oleh negara sejak 2007 lagi.
Yang Berhormat Puncak Borneo telah bertanya berkaitan dengan penubuhan suruhanjaya kebangsaan yang bebas mengenai orang asal ya. Tuan Yang di-Pertua, berdasarkan kajian ataupun dapatan kuantitatif menerusi laporan semakan kajian pindaan Akta 134, majoriti responden kita, 55.7 peratus menyatakan tidak bersetuju dengan cadangan penubuhan suruhanjaya bebas tersebut ya.
Sebagai alternatif, kajian mencadangkan penubuhan Majlis Penasihat Orang Asli Semenanjung Malaysia. Penubuhan majlis ini mencontohi model Mauri Council di New Zealand serta selaras dengan prinsip kemandirian ya UNDRIP untuk berfungsi sebagai badan penasihat rasmi kepada Menteri dalam segala perkara berkaitan dengan kepentingan orang asli.
Kementerian juga pada masa ini tengah merangka dasar pembangunan orang asli ya yang bermatlamat untuk memperkasakan masyarakat orang asli melalui pembangunan inklusif tanpa menjejaskan identiti, hak adat dan budaya mereka. Dasar ini memberi tumpuan kepada tujuh lonjakan utama iaitu tanah, pendidikan, kesihatan, ekonomi, kepimpinan, infrastruktur dan juga kebudayaan.
Jadi pelaksanaan dasar ini dirangka untuk menangani cabaran pembangunan masyarakat orang asli termasuk isu-isu yang dibangkitkan dalam...
Datuk Willie anak Mongin - Puncak Borneo
YB Menteri. Kalau...
Datuk Hajah Rubiah binti Wang
...Dalam Laporan Inkuiri Nasional. Ya?
Datuk Willie anak Mongin - Puncak Borneo
Kalau saya boleh mencelah sedikit. Terima kasih kerana izinkan saya memberi pencelahan untuk menerima penjelasan.
Dewasa ini kita berbicara mengenai karbon kredit dan kebanyakan karbon kredit ini juga di-contribute dengan izin, oleh orang asli dan orang asal dan juga kalau kita lihat dalam konteks Sabah, Sarawak, masyarakat Dayak dan masyarakat Kadazan di Sabah mempunyai keluasan tanah yang besar dan kebanyakan pokok- pokok yang masih tumbuh adalah di kawasan milik mereka ini.
Jadi, adakah kerajaan berhajat ataupun berhasrat untuk juga melibatkan golongan orang asli di Semenanjung dan orang asal di Sabah, Sarawak untuk terlibat sama dalam kerangka karbon kredit ini supaya mereka juga boleh manfaat dan mereka bukan sahaja sekadar pemerhati, tetapi mereka juga terlibat sama untuk menikmati bersama kemajuan dan benefit from this carbon credit? Terima kasih.
Datuk Hajah Rubiah binti Wang
Terima kasih YB Puncak Borneo atas pandangan ya.
Kita ambil maklum ya berkaitan dengan cadangan berkenaan ya. Sebab setiap perancangan pembangunan yang melibatkan orang asli dan orang asal sudah semestinya mempunyai perincian ya yang mana boleh memberi perlindungan dan juga kepentingan manfaat kepada orang asli berkenaan ya.
Seterusnya Yang Berhormat Sik dan Yang Berhormat Kampar membangkitkan status pindaan Akta Orang Asli 1954 [Akta 134] dan ketetapan melaksanakan prinsip FPIC bagi projek pembangunan dan isu mendapatkan pengenalan diri ya.
Untuk makluman Yang Berhormat, Akta 134 merupakan semakan menyeluruh undang-undang berkaitan komuniti orang asli. Pada masa ini, kementerian sedang memperhalusi cadangan pindaan akta, bukan berkaitan tanah, termasuk semakan semula definisi takrifan pengiktirafan lembaga adat penubuhan Majlis Penasihat Orang Asli Semenanjung, pengangkatan pendidikan serta pendaftaran perkahwinan dan perceraian orang asli ya.
Kementerian melalui JAKOA sedang giat mengadakan sesi libat urus sampai ke peringkat umbi ya untuk mendapatkan maklum balas yang lebih komprehensif dan perkara ini akan dimuktamadkan sebelum dibawa ke peringkat kementerian dan juga diangkat kepada kelulusan Jemaah Menteri ya.
Tuan Yang di-Pertua, akhir sekali, berkaitan dengan penyediaan infrastruktur asas dan pembangunan ekonomi yang diutarakan oleh Yang Berhormat Betong dan juga Yang Berhormat Lubok Antu dan juga Yang Berhormat Kampar ya. Berkaitan dengan langkah kerajaan untuk meningkatkan taraf kehidupan masyarakat, khususnya kawasan luar bandar dan pedalaman termasuk pembangunan infrastruktur ya.
Untuk makluman Yang Berhormat, setiap cadangan sama ada projek prasarana, cadangan jalan raya, bekalan air, bekalan elektrik akan dinilai berdasarkan keperluan setempat, impak kepada masyarakat dan ketersediaan peruntukan kerajaan. Sesuatu projek atau program hanya dapat dilaksanakan setelah kajian ataupun siasatan teknikal dijalankan dan penilaian mengenai anggaran kos dan ketersediaan tapak dapat dimuktamadkan ya.
Tuan Yang di-Pertua, itu saja yang dibangkitkan dalam perbahasan ini. Saya sekali lagi, saya ingin nak mengucapkan terima kasih kepada pembahas-pembahas dan juga KKW komited untuk memastikan hak orang asli terbela, dihormati seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Akta Orang Asli 1954 [Akta 134]. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Terima kasih Yang Berhormat Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah. Sekarang saya jemput Yang Berhormat Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk menjawab. Masa 10 minit.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan - Datuk Hajah Aiman Athirah binti Sabu
Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
[Berselawat] Tuan Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan menyambut baik pembentangan Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia tahun 2024 di Dewan yang mulia ini. Pembentangan laporan ini adalah manifestasi jelas terhadap komitmen tidak berbelah kerajaan dalam mendukung, memelihara dan memperkasakan agenda hak asasi manusia untuk rakyatnya di negara ini.
Justeru, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) kekal komited memastikan gubalan dasar dan pelaksanaan pembangunan negara, khususnya infrastruktur, kemudahan awam serta akses perumahan yang inklusif sentiasa berlandaskan prinsip hak asasi manusia serta berteraskan kesejahteraan sosial. Langkah ini bukan sekadar memenuhi tuntutan tata kelola, malah mencerminkan keikhlasan kerajaan untuk memastikan setiap keperluan, kebajikan dan kepentingan asas rakyat Malaysia sentiasa dilindungi tanpa mengira latar belakang, agama dan warna kulit.
Tuan Yang di-Pertua, kementerian mengambil maklum akan setiap syor dan pandangan serta teguran konstruktif yang telah pun dikemukakan oleh Ahli-ahli Yang Berhormat sepanjang sesi perbahasan yang telah pun berlangsung selama dua hari.
Izinkan saya untuk terus menjawab kepada pertanyaan yang dibangkitkan oleh Ahli- ahli Yang Berhormat, khususnya yang menyentuh bidang khusus di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
Yang Berhormat Hulu Selangor telah pun membangkitkan perkara berhubung tindakan yang sedang diambil oleh kerajaan bagi memastikan penguatkuasaan dan penambahbaikan kemudahan mesra OKU dapat dilaksanakan dengan lebih menyeluruh dan berkesan sebagai bukti keseriusan kerajaan dalam menyokong agenda inklusiviti nasional.
Kementerian ini telah pun melalui khususnya melalui Jabatan Kerajaan Tempatan telah pun melaksanakan audit pematuhan accessibility selaras dengan reka bentuk sejagat MS 1184:2014 kepada prasarana-prasarana termasuk bangunan pejabat ke atas sekurang-kurangnya di lima kawasan PBT setiap tahun sebagai salah satu usaha memastikan bangunan pejabat ataupun fasiliti yang disediakan adalah mesra OKU. Bukan itu saja, bagi menjamin kelangsungan sustainability usaha ini, lima audit susulan mandatori dijalankan secara berkala pada tahun berikutnya. Ini membuktikan kita mempunyai sistem pemantauan prestasi yang dinamik, bukan sekadar pelaporan kosmetik.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan - Datuk Hajah Aiman Athirah binti Sabu
Manakala bagi menjawab kegusaran Ahli Yang Berhormat mengenai isu penguatkuasaan petak parkir OKU yang sering disalahgunakan, kerajaan telah pun mengambil langkah intervensi perundangan yang lebih tuntas.
Untuk makluman Dewan yang mulia, Kementerian Pengangkutan (MOT) dengan kerjasama KPKT telah pun menggubal Garis Panduan Pembangunan Perintah/Undang-undang Kecil bagi Pengawalseliaan Tempat Letak Kenderaan Khas OKU. Atas dasar kebersamaan politik, demi kebajikan rakyat, dasar ini telah pun mendapat kelulusan sebulat suara di peringkat Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan (MNKT) pada 20 Ogos 2025.
Hasilnya, Tuan Yang di-Pertua, kita kini berjaya menyeragamkan punca kuasa di peringkat seluruh PBT tanah air rentetan kelulusan ini. Dan rentetan itu juga, penguatkuasaan akan menjadi lebih agresif, lebih tegas dan lebih holistik merangkumi tindakan kompaun maksimum serta penundaan kenderaan secara mandatori. Perubahan struktur perundangan ini mencerminkan tekad politik ataupun political will, dengan izin, kerajaan untuk memastikan keadilan sosial ditegakkan di peringkat akar umbi.
Yang Berhormat Hulu Selangor juga turut membangkitkan pertanyaan mengenai penilaian menyeluruh di peringkat PBT berhubung dengan dasar satu peratus pekerja OKU serta apakah cabaran sebenar yang dikenal pasti sehingga sasaran tersebut masih belum dicapai.
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, dasar satu peratus peluang pekerjaan dalam perkhidmatan awam kepada OKU telah pun dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) melalui Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 10 Tahun 1988. Diakui bahawa secara keseluruhannya majoriti PBT masih belum mencapai sasaran satu peratus tersebut walaupun terdapat trend beberapa PBT di peringkat bandar raya yang menunjukkan trend peningkatan positif.
Hasil daripada penilaian dan maklum balas di peringkat akar umbi, beberapa cabaran utama telah pun dikenal pasti. Antaranya, pertama, sifat fizikal skop kerja di peringkat PBT iaitu sebahagian besar perjawatan di PBT melibatkan kerja-kerja penguatkuasaan, operasi lapangan, teknikal dan penyelenggaraan parit/jalan yang memerlukan keupayaan fizikal spesifik sekali gus mengehadkan ruang pengisian untuk OKU fizikal.
Yang keduanya, kadar padanan am dengan kelayakan akademik iaitu wujud jurang antara skim perjawatan yang ditawarkan di peringkat PBT iaitu skim perkhidmatan awam dengan bilangan pemohon OKU yang memiliki kelayakan akademik ataupun kemahiran teknikal yang bertepatan dengan keperluan semasa di peringkat PBT.
Dan yang ketiganya adalah kekangan kemudahan mesra OKU, accessibility. Infrastruktur pejabat di sesetengah PBT, terutamanya bangunan lama, masih belum memenuhi standard reka bentuk sejagat yang sepatutnya sepenuhnya mesra OKU seperti mana ketiadaan lif khas, rem ataupun tandas mesra OKU.
Sehubungan dengan itu, Tuan Yang di-Pertua, JPA telah pun mengeluarkan Pekeliling Perkhidmatan Ceraian UP 1.3.6 – Dasar Pengambilan dan Pengurusan Inklusif OKU pada 17 Februari 2025 kepada pejabat SUK negeri-negeri untuk edaran pemakaian pekeliling oleh PBT meningkatkan pengambilan pekerja OKU. Merujuk kepada pekeliling tersebut, pejabat SUK negeri bertanggungjawab untuk melaporkan pengisian jawatan OKU di peringkat PBT masing-masing secara menyeluruh pada 31 Disember setiap tahun kepada JPA.
Tuan Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat, tuntasnya Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan ingin menegaskan bahawa tonggak kesejahteraan dan ihsan yang termaktub dalam semangat Malaysia MADANI bukan sekadar retorik di atas kertas malah sebuah paksi perjuangan yang murni. Kerajaan MADANI berikrar untuk memastikan tiada seorang pun anak Malaysia yang ketinggalan sama ada di kota mahupun di desa yang akan dipinggirkan daripada arus kemakmuran negara ini.
Akhir kalam, ingin saya tegaskan sekali lagi bahawa kementerian ini akan terus menjunjung prinsip keadilan terhadap hak asasi manusia dan ia tidak boleh sesekali dikesampingkan. Iltizam ini, Tuan Yang di-Pertua, akan terus dipertahankan dan terus diangkat sebagai nilai asas untuk kita mencorak masa depan pembangunan negara yang lebih lestari dan mampan demi kesejahteraan generasi masa depan.
Terima kasih, Tuan Yang di-Pertua.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Terima kasih, Yang Berhormat Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan. Sekarang saya jemput Yang Berhormat Timbalan Menteri Pendidikan untuk menjawab. Masa 10 minit.
Timbalan Menteri Pendidikan - Tuan Wong Kah Woh
Terima kasih, Tuan Yang di-Pertua. Terlebih dahulu, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua Ahli Yang Berhormat yang telah mengambil bahagian dalam perbahasan Laporan Tahunan SUHAKAM Tahun 2024. Sesi perbahasan Laporan Tahunan SUHAKAM 2024 adalah berkaitan dengan dua tema utama bagi KPM iaitu pendidikan hak asasi manusia dan juga hak asasi kanak-kanak.
Pendidikan dan hak asasi manusia merupakan dua elemen yang saling berkait rapat dan tidak boleh dipisahkan. Pendidikan ialah hak asas yang membuka peluang kepada setiap individu untuk mengembangkan potensi diri, meningkatkan taraf kehidupan serta menyumbang secara bermakna kepada masyarakat dan juga negara.
Dalam konteks negara bangsa yang majmuk seperti Malaysia, pendidikan juga berperanan sebagai wahana bagi membentuk masyarakat yang saling menghormati, memahami perbezaan dan juga menghargai nilai kemanusiaan sejagat. KPM sentiasa berpegang kepada prinsip bahawa setiap murid berhak mendapat akses kepada pendidikan yang berkualiti, selamat, inklusif, saksama tanpa diskriminasi.
Sehubungan itu, KPM akan terus memperkukuhkan kerjasama strategik dengan SUHAKAM, kementerian dan juga agensi yang lain bagi memastikan prinsip hak asasi manusia diterjemahkan secara berkesan dalam dasar, program dan tindakan yang memberi manfaat kepada setiap murid dan warga pendidik di negara kita.
Program ATHAM. Kementerian Pendidikan kekal komited dalam membudayakan nilai kemanusiaan dan kesedaran hak asasi Malaysia dalam kalangan warga pendidikan khususnya melalui perluasan program Amalan Terbaik Hak Asasi Manusia (ATHAM) di sekolah-sekolah seluruh negara. Program ini dilaksanakan menerusi kerjasama strategik antara KPM dengan SUHAKAM merangkumi tiga teras utama iaitu:
(i) latihan kapasiti guru;
(ii) kempen advokasi interaktif di peringkat sekolah; dan
(iii) pemerkasaan pembimbing rakan sebaya.
KPM dengan kerjasama SUHAKAM telah melaksanakan program ATHAM sejak tahun 2009 bagi membudayakan nilai hak asasi manusia, hak kanak-kanak dan nilai murni dalam kalangan murid, guru serta warga sekolah. Pelaksanaannya melibatkan pelbagai aktiviti seperti Hari Hak Asasi Manusia, program anti buli dan juga anti diskriminasi, forum, pertandingan, kempen menghormati kepelbagaian serta integrasi nilai hak asasi dalam pengajaran dan pembelajaran serta aktiviti kokurikulum.
Bagi memperkukuhkan pelaksanaan pendidikan hak asasi manusia, KPM dan SUHAKAM akan memperkenalkan ATHAM 2.0 bagi tempoh 2025 sehingga 2035 melalui penyediaan garis panduan dan juga modul baharu yang akan diperluaskan secara berperingkat ke institusi pendidikan. Inisiatif ini berteraskan tiga komponen utama iaitu:
(i) pendidikan tentang hak asasi manusia;
(ii) pendidikan melalui hak asasi manusia; dan
(iii) pendidikan untuk hak asasi manusia.
Pendekatan ini bertujuan meningkatkan pengetahuan membudayakan amalan menghormati hak serta membentuk warga sekolah yang mampu menghayati, mempromosi serta melindungi hak asasi manusia dalam kehidupan seharian masing-masing.
Perbincangan awal telah pun diadakan bersama-sama dengan SUHAKAM pada 18 Jun yang lepas. Susulan daripada itu, satu sesi lanjutan telah dijadualkan pada 9 Julai 2026 bagi memperincikan strategi perluasan program ini bersama-sama bahagian-bahagian berkepentingan di Kementerian Pendidikan Malaysia.
Sebagai bukti kesungguhan pelaksanaan, KPM turut telah mengedarkan sebanyak 1,000 naskhah Buku Panduan ATHAM kepada 16 jabatan pendidikan negeri pada tahun 2025 bagi memastikan pelaksanaan program ini lebih berkesan dan menyeluruh di peringkat sekolah.
Berkenaan dengan modul hak asasi manusia untuk pendidik dan warga pendidik, komitmen KPM dalam membudayakan...
Tuan Hassan bin Abdul Karim - Pasir Gudang
Yang Berhormat Menteri.
Boleh saya mencelah?
Tuan Wong Kah Woh
Ya, sila, Pasir Gudang.
Tuan Hassan bin Abdul Karim - Pasir Gudang
Terima kasih. Terima kasih, Puan Speaker. Sebentar tadi Yang Berhormat Menteri ada menyebut pendidikan adalah hak asasi manusia seperti yang disebut juga oleh SUHAKAM.
Jadi, saya ingin menarik perhatian kepada ramai anak-anak masyarakat Rohingya di Malaysia ini. Terdapat 215,000 masyarakat Rohingya ini dan ramai kanak-kanaknya yang tidak dapat pendidikan di negara kita ini.
Jadi, ini soal kemanusiaan yang disebut oleh SUHAKAM dan oleh Yang Berhormat Menteri. Bolehkah kita ambil tanggungjawab bersama kerajaan bersama- sama pihak swasta, NGO, sivil society dan badan-badan kebajikan serta dakwah, kita selamatkan anak-anak Rohingya ini yang tak berdosa supaya mereka kenal huruf, boleh mengira, bolehlah nanti menjadi orang dewasa yang berpelajaranlah sedikit. Terima kasih.
Tuan Wong Kah Woh
Terima kasih, Yang Berhormat Pasir Gudang. Terima kasih Puan Yang di-Pertua.
Tuan Wong Kah Woh
Berkenaan dengan modul hak asasi manusia untuk pendidik. Komitmen KPM dalam membudayakan hak asasi manusia ini turut diperluaskan sehingga ke peringkat latihan perguruan, khususnya menerusi IPGM di bawah KPM.
Sejak tahun 2023, kerjasama strategik antara IPGM dan SUHAKAM telah melalui fasa pembangunan, pemurnian, rintis, pemantapan dan juga latihan jurulatih sebelum dilaksanakan sepenuhnya kesemua di 27 kampus IPG di bawah KPM.
Inisiatif ini bertujuan membudayakan pendidikan hak asasi manusia dalam kalangan guru pelatih agar mereka dapat mengamalkan dan juga mempromosikan nilai-nilai hak asasi manusia dalam profesion perguruan dan juga persekitaran sekolah.
Modul hak asasi manusia untuk pendidik yang dibangunkan melalui kerjasama IPGM dengan SUHAKAM mengandungi empat topik utama iaitu;
(i) pengenalan hak asasi manusia,
(ii) hak asasi manusia dan pendidik,
(iii) hak kanak-kanak; dan
(iv) amalan terbaik hak asasi manusia (ATHAM) di sekolah. Pada 25 sehingga....
Datuk Dr. Radzi Jidin - Putrajaya
Yang Berhormat Menteri, boleh sedikit?
Tuan Wong Kah Woh
Boleh saya habiskan sedikit? Okey, terima kasih.
Pada 25 sehingga 27 Ogos 2025, satu bengkel training of trainers (ToT) telah dilaksanakan, melibatkan enam zon dalam dua siri latihan. Menerusi latihan ini, para peserta seterusnya menyalurkan ilmu yang diperolehi melalui professional learning community serta kursus kepada para pensyarah di IPG masing-masing, sekali gus mewujudkan kesinambungan latihan daripada peringkat pusat ke peringkat institusi.
Usaha ini disokong lagi menerusi pelaksanaan minggu ekosistem pada tahun 2026, khusus kepada pelajar Tahun 4, Semester 2 bagi rumusan akhir kepada kandungan hak asasi manusia sebelum mereka ditempatkan bertugas di sekolah.
Kerjasama strategik KPM dan SUHAKAM turut dizahirkan menerusi lawatan Pesuruhjaya Hak Asasi Manusia dan juga ahli-ahli SUHAKAM ke IPGM bagi membincangkan pelaksanaan modul SUHAKAM pendidik kepada seluruh 27 IPG kampus di seluruh negara dan ini membuktikan sokongan padu SUHAKAM terhadap usaha KPM dalam usaha ini. Sila Putrajaya.
Datuk Dr. Radzi Jidin - Putrajaya
Terima kasih Yang Berhormat. Saya ingin menyentuh sedikit. Tadi banyak dikatakan tentang hak asasi untuk kanak- kanak khususnya. Dan jika kita lihat apa yang berlaku akhir-akhir ini, kes-kes berkaitan dengan melibatkan (mental health) kesihatan mental kanak-kanak di sekolah, kes-kes yang melibatkan buli.
Dan jika kita melihat antara perkara paling asas— hak asasi yang perlu ditekankan adalah untuk anak-anak ini merasa selamat di sekolah. Tetapi kejadian pada akhir-akhir ini, seperti mana kita lihat, kejadian jatuh bangunan. Kita di luar sini, kita tak tahu, kita serahkan kepada polis tentang siasatan berkaitan dengan kes tersebut. Kes pelajar ditikam beberapa hari lepas, melibatkan kecederaan. Sebelum ini, kes pelajar ditikam melibatkan kematian.
Jadi, ini melibatkan isu keselamatan di sekolah. Cuma kita nak tahu, setakat mana kementerian melihat apakah yang sedang berlaku sebenarnya dalam kalangan anak-anak kita dalam konteks keselamatan di sekolah, dalam konteks kesihatan mental mereka. Kerana jika dibiarkan trend ini berterusan, kita boleh lihat bahawa keadaan ini mungkin sekiranya tidak ditangani dengan awal, hak pelajar- pelajar lain untuk datang dan berasa selamat di sekolah itu mungkin akan terjejas.
Terima kasih Yang Berhormat.
Tuan Wong Kah Woh
Terima kasih Yang Berhormat Putrajaya. Izinkan saya untuk memberikan jawapan berkenaan dengan isu sekolah selamat yang telah pun menjadi isu tumpuan oleh rakan-rakan Ahli-ahli Yang Berhormat dan juga warga masyarakat di luar.
Puan Yang di-Pertua, berkenaan dengan isu katakan sama ada melibatkan isu salah laku buli ataupun isu keselamatan dalam premis sekolah. Sememangnya sejak untuk sepanjang masa ini, usaha-usaha telah dilakukan oleh KPM untuk memastikan, nombor satu, sekolah itu sepatutnya adalah tempat yang paling selamat bagi anak-anak kita. Dan apabila anak-anak dihantar ke sekolah ataupun sampai ke sekolah, itulah tempat yang mana anak-anak kita patut berasa selamat.
Dan berkenaan dengan isu— kita mengambil maklum berkenaan dengan isu- isu yang berlaku kebelakangan ini dari tahun lepas, sampai ke tahun ini. Pihak KPM sememangnya telah pun memperkuatkan mechanism yang sedia ada. Nombor satu, berkenaan dengan SPI kita untuk laporan SOP 137 berkenaan dengan pelaporan dan juga tindakan menangani isu disiplin murid. Itu nombor satu.
Nombor dua, usaha ini diperkukuhkan lagi dengan usaha-usaha seperti Program Pembangunan Karakter Generasi MADANI yang memperkukuhkan dan membina karakter murid secara holistik untuk menyeimbangkan dimensi intelektual, sahsiah dan juga spiritual. Pada masa yang sama, duta sahsiah, pembimbing rakan sebaya juga telah dipergiatkan bagi memastikan kita menggerakkan semua pihak ataupun rakan sebaya yang kita ada untuk membantu anak-anak dan juga rakan- rakan masing-masing.
Saringan minda sihat turut dilaksanakan dan diteruskan dengan usaha-usaha yang lain. Dan kita berharap dengan usaha sebegini, kita dapat memastikan satu fenomena yang selamat di sekolah. Dan pada masa yang sama, kita juga menyaring dan juga mengawal minda sihat anak-anak masing-masing.
Datuk Dr. Radzi Jidin - Putrajaya
Terima kasih Yang Berhormat Timbalan Menteri atas penjelasan tadi berkaitan dengan tindakan-tindakan. Jika kita lihat, kebanyakan tindakan yang disebut tadi adalah tindakan reaktif. Dan kalau saya boleh cadangkan, melihat keadaan semasa, saya amat risau dan keadaannya kalau dibiarkan apa yang sedang berlaku sebenarnya dalam kalangan anak-anak kita.
Kalau boleh, Kementerian Pendidikan dan kementerian-kementerian lain yang berkaitan perlu membuat satu pendekatan menyeluruh untuk memahami apa sebenarnya yang sedang berlaku dalam kalangan generasi anak-anak kita pada hari ini. Keadaannya berbeza pada zaman kita dulu, dengan adanya sosial media, internet dan sebagainya.
Mungkin ada sesuatu yang berlaku yang kita sendiri tidak sedar. Jadi, daripada— selain daripada mengambil tindakan reaktif, saya cadangkan dilihat secara lebih mendalam, apa sebenarnya berlaku supaya tindakan yang diambil itu dapat menangani isu sebenar. Terima kasih.
Tuan Wong Kah Woh
Okey, terima kasih Yang Berhormat Putrajaya.
Nombor satu, saya amat bersetuju bahawa zaman sekarang anak-anak kita adalah berbeza dengan zaman kami dan juga zaman rakan-rakan Yang Berhormat yang lain. Namun demikian, apabila kita sebut berkenaan dengan tindakan yang telah pun saya sebut tadi dan telah pun diambil, tindakan itu bukan sekadar tindakan reaktif, sebaliknya ia merupakan satu usaha dan juga tindakan berpanjangan dan berterusan untuk memastikan kita mencapai matlamat yang kita inginkan.
Dan apa yang penting juga, selain daripada usaha-usaha ini, tadi saya belum lagi sebut berkenaan dengan Jawatankuasa Khas Reformasi Keselamatan Institusi Pendidikan, yang mana dalam jawatankuasa khas ini Yang Berhormat, kita bukan sahaja merangkumi ataupun melibatkan rakan-rakan kita di peringkat KPM tetapi pada masa yang sama, kita melibatkan gabungan pakar akademik, agensi kerajaan, badan NGO dan juga wakil seperti dari UNICEF dan juga NUTP untuk kita sama- sama memberikan pandangan dan memberikan input bagaimana kita boleh memperbaiki keadaan yang sedia ada, supaya pada masa yang sama, kita mengelakkan perkara-perkara yang tidak diingini itu berlaku.
Puan Yang di-Pertua, saya masuk ke topik yang seterusnya, yang terakhir.
Selaras dengan pembangunan kurikulum persekolahan 2027, KPM turut mengambil pendekatan proaktif dalam menstruktur semula pemeringkatan kandungan komponen Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PEERS) dalam mata pelajaran Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Kesihatan. Kandungan PEERS dijajarkan secara progresif mengikut tahap perkembangan murid. Dan pada Tahap 1 sekolah rendah, tumpuan diberikan kepada literasi asas anatomi, amalan kebersihan diri serta kemahiran asertif dalam mengenal pasti sentuhan yang selamat dan tidak selamat.
Seterusnya, Tahap 2 sekolah rendah, cakupan kurikulum diperluaskan kepada aspek pengurusan akil baligh merangkumi pemahaman terhadap perubahan fisiologi serta haid dan juga— [Tidak jelas] dan juga di samping kecekapan pengurusan diri. Peruntukan masa pembelajaran bagi mata pelajaran PJPK dalam KP2027 kekal dua jam seminggu tanpa sebarang pengurangan.
Pengekalan tempoh ini bertujuan memperkasakan murid dengan kecekapan psiko sosial dalam membuat keputusan, di samping memastikan mereka memperoleh literasi kesihatan tubuh badan yang sewajarnya. Pendekatan berperingkat ini menunjukkan komitmen KPM dalam memastikan kandungan kurikulum selalu selari dengan tahap kematangan dan keperluan perkembangan murid, selaras dengan hasrat kurikulum persekolahan 2027.
Dengan ini, selesailah penjelasan Kementerian Pendidikan berhubung isu- isu yang dibangkitkan sepanjang perbahasan dan KPM akan memastikan dasar dan juga program pendidikan negara yang terkait dengan hak asasi manusia dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab. Sekian, terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Terima kasih Yang Berhormat Timbalan Menteri Pendidikan. Sekarang saya jemput Yang Berhormat Timbalan Menteri Dalam Negeri untuk menjawab. Masa 30 minit.
Timbalan Menteri Dalam Negeri - Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar bin Haji Nasarah
Bismillahirrahmanirrahim, assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera, Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua.
Terlebih dahulu, saya ingin menzahirkan penghargaan dan ucapan setinggi- tinggi terima kasih kepada Ahli-ahli Yang Berhormat yang telah mengambil bahagian secara aktif, kritis dan penuh komitmen dalam membahaskan Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan SUHAKAM 2024. KDN sentiasa memandang serius setiap syor, teguran dan persoalan yang dibangkitkan.
Bagi KDN, hak asasi manusia bukanlah satu retorik, sebaliknya ia merupakan satu teras kepada keadilan sosial dan kecekapan tadbir urus keselamatan negara.
Benar, keselamatan adalah keutamaan namun ia tidak sekali-kali meremehkan maruah kemanusiaan. Kementerian menyambut baik ada 38 isu dan pandangan yang telah dibangkitkan oleh 36 Ahli Yang Berhormat semasa perbahasan Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan SUHAKAM 2024.
Bagi penggulungan ini Yang Berhormat, kementerian akan memberi tumpuan kepada perkara-perkara yang secara langsung menyentuh kandungan laporan ini sahaja. Dalam kandungan ini, isu-isu yang dibangkitkan telah kita perhalusi dan kita kategorikan kepada lima kluster utama, seperti berikut iaitu:
(i) kluster pendaftaran dan kewarganegaraan;
(ii) kluster jenayah dan keselamatan;
(iii) kluster Hal Ehwal Imigresen;
(iv) kluster tahanan. Ini termasuk lokap, depoh dan penjara; dan
(v) kluster dadah.
Ahli Yang Berhormat, saya mulakan dengan kluster pendaftaran dan kewarganegaraan. Perkara ini dibangkitkan oleh Yang Berhormat Seputeh, Rasah, Lubok Antu, Tuaran, Putatan, Betong dan juga Kepong.
Ia berkaitan dengan perkara-perkara yang berhubung kait dengan kewarganegaraan. Putatan mencadangkan agar kerajaan menubuhkan pasukan petugas khas bagi mempercepatkan penyelesaian permohonan kewarganegaraan yang tertangguh khususnya bagi masyarakat peribumi di Sabah dan Sarawak agar isu dokumentasi tidak menjejaskan akses kepada pendidikan dan perkhidmatan asas.
Untuk makluman Yang Berhormat, permohonan kewarganegaraan khususnya di bawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan, ia melibatkan penganugerahan taraf kewarganegaraan oleh Kerajaan Malaysia yang merupakan satu anugerah yang tertinggi.
Maka sehubungan dengan itu, setiap pemohon perlu melalui proses penelitian yang menyeluruh. Ini termasuk semakan latar belakang, pengesahan dokumen dan tapisan keselamatan yang teliti bagi memastikan hanya individu yang benar-benar layak dipertimbangkan, di samping memelihara keselamatan, kedaulatan dan kepentingan negara. Ini perkara asas.
Jadi, bagi memastikan urusan permohonan dilaksanakan secara cekap, prosedur operasi standard, SOP yang berkuat kuasa menetapkan sasaran tempoh pemprosesan selama satu tahun bagi permohonan yang lengkap. Permohonan yang lengkap, kita bagi tempoh setahun untuk kita proses dan kementerian sentiasa memantau pematuhan terhadap sasaran tersebut serta melaksanakan penambahbaikan secara berterusan bagi meminimumkan kelewatan tanpa sesekali menjejaskan ketelitian proses semakan dan kepentingan keselamatan serta kedaulatan negara.
Yang Berhormat Betong, membangkitkan isu penyelesaian dokumentasi, isu- isu kewarganegaraan melalui mekanisme khas yang lebih pantas dan lebih bersepadu. Sukacita dimaklumkan bahawa KDN melalui JPN telah pun melaksanakan beberapa mekanisme dan tindakan khusus yang berfungsi sebagai pasukan petugas khas bagi menangani isu dokumentasi serta mempercepatkan penyelesaian permohonan kewarganegaraan, khususnya Sabah dan Sarawak.
Pertama, melalui pasukan petugas khas yang merupakan kerjasama strategik antara Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Premier Sarawak.
PPK memfokuskan usaha mengenal pasti penduduk Sarawak yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman.
Melalui operasi di lapangan Yang Berhormat, verifikasi komuniti, sesi libat urus serta semakan kes secara terperinci. PPK ini membantu menyelesaikan isu dokumentasi termasuk pendaftaran kelahiran dan pengeluaran dokumen pengenalan diri kepada individu-individu layak.
Kedua, Jawatankuasa Khas Status Kewarganegaraan Peringkat Negeri Sarawak yang berperanan meneliti dan memperakukan permohonan kewarganegaraan, khususnya di bawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan.
Jadi, penubuhan jawatankuasa ini bertujuan untuk mempercepatkan pertimbangan permohonan kewarganegaraan yang melibatkan kes-kes khas termasuk permohonan kanak-kanak yang memerlukan pertimbangan khas oleh kerajaan di peringkat Persekutuan.
Di samping itu Yang Berhormat, kementerian turut memperkukuhkan pelaksanaan Program Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR), iaitu inisiatif perkhidmatan bergerak JPN yang membawa perkhidmatan pendaftaran terus ke kawasan luar bandar dan pedalaman. Melalui program ini, masyarakat dapat mengakses pelbagai perkhidmatan seperti pendaftaran kelahiran, kematian, kad pengenalan serta khidmat nasihat berkaitan dokumentasi tanpa perlu hadir ke pejabat JPN.
Yang Berhormat Seputeh, berkaitan dengan NGO yang membantu beberapa ibu warganegara Malaysia memohon kewarganegaraan bagi anak mereka di JPN.
Yang Berhormat bangkitkan laluan sedia ada, hanya dibuka kepada individu yang pernah membuat permohonan di bawah Perkara 15(2) atau Perkara 14 menyebabkan mereka yang tiada rekod pemohon terdahulu, masih tidak mempunyai laluan jelas untuk memperoleh kewarganegaraan.
Yang Berhormat juga membangkit, apakah laluan kewarganegaraan bagi anak dewasa yang dilahirkan di luar negara, kepada ibu warganegara Malaysia tetapi tiada rekod permohonan terdahulu?
Untuk makluman Seputeh dan Dewan, bagi individu yang telah berumur lebih daripada 21 tahun dan tidak pernah mengemukakan permohonan kewarganegaraan sebelum ini, mereka masih mempunyai laluan untuk memohon kewarganegaraan melalui kaedah naturalisasi. Di bawah Perkara 19 Perlembagaan Persekutuan, tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan.
Bagi tujuan tersebut Yang Berhormat, pemohon perlu terlebih dahulu mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah, memenuhi keperluan imigresen serta mendapat status pemastautin tetap (MyPR), sebelum permohonan kewarganegaraan secara naturalisasi boleh dipertimbangkan. Makna ada lagi laluan Yang Berhormat, untuk tujuan tersebut.
Baik, Yang Berhormat juga membangkitkan berkaitan bagaimana kementerian memapstikan anak-anak dewasa yang dilahirkan di luar negara Yang Berhormat, tidak kehilangan laluan untuk memperoleh kewarganegaraan walaupun ibu mereka telah tiada, seperti dalam kes individu berumur 37 tahun.
Untuk makluman Dewan, khususnya Seputeh, ketiadaan ibu tidak menyebabkan seorang individu hilang peluang. Ketiadaan ibu tidak menyebabkan seorang individu hilang peluang untuk mengemukakan permohonan kewarganegaraan. Setiap permohonan akan dinilai berasaskan fakta kes, dokumen sokongan serta peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa. Dokumen dan peruntukan undang-undang ini menjadi pertimbangan untuk permohonan seumpama ini.
Bagi individu yang telah melebihi umur 21 tahun, mereka masih mempunyai laluan untuk memohon kewarganegaraan melalui naturalisasi di bawah Perkara 19 Perlembagaan Persekutuan, tapi masih lagi tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan. Maknanya laluan masih ada. Banyak Seputeh tanya ini. Ini satu lagi perkara yang ditanya, berkaitan laluan yang mungkin Yang Berhormat nak cadangkan untuk sama ada kita boleh memohon warganegara di bawah Perkara 18(1). Ini Yang Berhormat bangkitkan, Yang Berhormat bangkit perkara ini.
Untuk makluman, permohonan kewarganegaraan secara naturalisasi di bawah Perkara 19(1) Perlembagaan Persekutuan bagi individu bukan warganegara yang telah berumur 21 tahun atau lebih boleh dipertimbangkan tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan.
Antara syarat-syarat utama adalah pemohon telah bermastautin di Persekutuan selama tempoh tidak kurang 10 tahun, dalam tempoh 12 tahun sebelum tarikh permohonan. Berniat untuk terus bermastautin di Persekutuan, berkelakuan baik serta mempunyai pengetahuan bahasa Melayu yang mencukupi.
Timbalan Menteri Dalam Negeri - Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar bin Haji Nasarah
Yang Berhormat bertanya tentang adakah Kementerian Dalam Negeri bersedia mengkaji semula pendekatan penolakan permohonan di bawah Perkara 15A. Bagi kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara, tapi tidak didaftarkan di Kedutaan Malaysia. Serta mewujudkan jawatankuasa khas bagi memudahkan permohonan kewarganegaraan bagi mereka yang berisiko menjadi tanpa warganegara.
[Timbalan Yang di-Pertua (Dato' Dr. Ramli bin Dato' Mohd Nor) **mempengerusikan Mesyuarat****] Yang Berhormat, pertimbangan permohonan kewarganegaraan di bawah Perkara 15A, Perlembagaan Persekutuan dibuat berdasarkan penelitian fakta kes, dokumen sokongan serta peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa. [Yang Berhormat Timbalan Menteri berhenti berucap seketika] Kementerian sentiasa mengambil pendekatan yang seimbang dalam— dengan meneliti setiap permohonan secara menyeluruh. Kita akan teliti secara menyeluruh berasaskan kes dan juga peraturan undang-undang yang sedia ada.
Khususnya ia melibatkan kanak-kanak yang berdepan isu dokumentasi. Ini isu biasalah, dokumentasi tanpa menjejaskan prinsip keselamatan, kedaulatan dan kepentingan negara.
Maknanya, setiap permohonan mesti kita berasaskan undang-undang, peraturan sedia ada, kita juga lihat pada kes. Apa pun pertimbangan soal-soal keselamatan, kedaulatan tetap menjadi keutamaan, ini yang dibangkitkan.
Yang Berhormat Kepong, membangkit soal kelewatan...
Puan Teresa Kok Suh Sim - Seputeh
Yang Berhormat...
Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar bin Haji Nasarah
Perkara baharu, Yang Berhormat? Kalau perkara baharu saya tak mahu jawab sebab banyak Yang Berhormat.
Puan Teresa Kok Suh Sim - Seputeh
Kepong tiada.
Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar bin Haji Nasarah
Ini tebal ini. [Sambil menunjukkan senaskhah dokumen]
Puan Teresa Kok Suh Sim - Seputeh
Bukan, sikit sahaja.
Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar bin Haji Nasarah
Kalau perkara baharu, saya bertulis sahaja.
Puan Teresa Kok Suh Sim - Seputeh
Secara bertulis.
Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar bin Haji Nasarah
Kalau perkara baharu.
Puan Teresa Kok Suh Sim - Seputeh
Ya. Sebenarnya, kalau ikut kenyataan Yang Berhormat Timbalan Menteri ini, semua pun boleh selesai. Tetapi, in reality ya, kira kami bersama dengan pengadu you know, pergi ulang balik JPN, sebenarnya bukan macam itu, sebenarnya pegawai selalu yang kata tak boleh, tak boleh, tak boleh.
So, sekarang yang ikut yang Yang Berhormat Timbalan Menteri, ini boleh ada, ada laluannya, ada semua ini. So, saya hendak cadangkan, mungkin JPN perlu ada beberapa pegawai yang memang fasih laluan-laluan dan bagi tunjuk ajar khususnya bila staff dari pusat khidmat yang bawa mereka pergi itu, mereka akan kaji dengan lebih telitilah dan cuba bantu mereka kerana, kebanyakan mereka adalah— mereka adalah anak Malaysia.
Tetapi, kerana kecuaian ibu bapa mereka yang menjadikan mereka menjadi stateless. Saya minta KDN boleh memandang serius rayuan ini.
Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar bin Haji Nasarah
Baik, saya ambil maklum perkara berkenaan. Namun demikian, pegawai-pegawai kita di Jabatan Pendaftaran Negara memang akan melaksanakan tanggungjawab dan memproses semua dokumen atau permohonan berasaskan SOP dan juga peraturan-peraturan sedia ada.
Barangkali mungkin timbul waktu berkenaan mungkin soal isu, dokumen dan sebagainya. Tapi tak apa Yang Berhormat, kita akan ambil perkara ini. Namun, saya jelaskan bahawa, apa perkara sekalipun, dokumen penting, maklumat-maklumat yang berkaitan penting dan kes-kes ini biasanya akan diurus berasaskan kepada kes-keslah. Jadi, namun demikian, kita kekal memberi ruang dan kita ada laluan.
Namun, kita tetap akan menjaga soal-soal keselamatan dan juga kepentingan negara dalam soal ini.
Kepong, kelewatan memproses permohonan kewarganegaraan dan isu dokumentasi termasuk keperluan prosedur khas bagi kes kanak-kanak dan peningkatan ketulusan dalam proses permohonan. Lebih kurang sama isu ini, Yang Berhormat.
Jadi, KDN menguatkuasakan prosedur operasi standard (SOP) bagi permohonan kewarganegaraan di bawah 15A ini Perlembagaan Persekutuan yang jelas terperinci dan seragam di seluruh negara. Makna, tidak ada berbeza di mana- mana tempat. Setiap pegawai kita juga melaksanakan tanggungjawab berasaskan peraturan sedia ada. Tak kira di mana sekalipun.
Dan SOP ini Yang Berhormat, antara lain menetapkan keperluan dokumen, proses semakan, kriteria penilaian yang berasaskan peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang berkaitan yang berkuat kuasa. Dari segi tempoh pemprosesan, SOP tersebut turut menetapkan sasaran tempoh selama satu tahun.
Itu memang menjadi keutamaan kita bagi permohonan yang lengkap. Tetapi, kalau permohonan tak lengkap, memang akan mengambil masa yang lama. Jika lengkap, prosesnya ialah satu tahun, Yang Berhormat.
Ini dari segi tempoh saya sebut tadi, makna kita tetapkan dalam satu tahun bagi yang lengkap dan kementerian sentiasa memantau pematuhan terhadap tempoh tersebut serta kita sentiasa laksanakan penambahbaikan dan perkara- perkara yang berkaitan dengannya.
Ini berkaitan dengan warganegara, banyak dibangkitkan di sini. 15 minit saya sentuh warganegara sahaja. Saya ingat yang lain-lain itu Dato’ Dr. Yang di-Pertua, berkaitan warganegara saya bagi bertulis. Saya hendak bawa ke isu lain, saya ada lima tajuk, Yang Berhormat.
Saya pergi ke kluster jenayah dan keselamatan. Ini pun banyak, Yang Berhormat. Ini dibangkitkan oleh Tumpat, oleh Langkawi, oleh Besut dan juga Jerlun.
Ini soal berkaitan dengan kebebasan bersuara. Dibangkitkan perkara dengan merujuk kepada pelaksanaan undang-undang berkaitan perhimpunan awam— aman.
Bagaimanakah kerajaan mengambil kira keseimbangan antara keselamatan negara dan kebebasan bersuara? Termasuk penggunaan undang-undang jenayah terhadap ucapan awam. Saya hendak sebut bahawa kerajaan berpegang kepada prinsip keseimbangan. Antara hak asasi rakyat untuk berhimpun secara aman sebagaimana dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan. Dengan tanggungjawab pihak kerajaan untuk memastikan keselamatan dan ketenteraman awam serta perlindungan hak dan kebebasan pihak lain yang turut dilindungi oleh undang- undang kekal terpelihara.
Maknanya, kita menjaga kesemua pihak yang hendak berhimpun, tak mahu berhimpun dan sebagai. Semua aspek kita jaga. Dalam konteks perhimpunan aman Yang Berhormat, kementerian komited untuk memastikan pelaksanaan undang- undang adalah selaras dengan prinsip demokrasi dan kedaulatan undang-undang.
Kerajaan juga, kita amalkan pendekatan yang bersifat pemudah cara dalam pelaksanaan perhimpunan aman, Akta Perhimpunan Aman 2012 [Akta 736] diwujudkan bagi mengawal selia penganjuran perhimpunan aman.
PDRM berperanan pemudah cara, pelaksanaan perhimpunan melalui pengurusan keselamatan, kawalan lalu lintas serta langkah-langkah bagi mengelakkan berlakunya gangguan kepada keselamatan dan ketenteraman awam.
Berhubung dengan penggunaan undang-undang jenayah terhadap ucapan awam. Tindakan penguatkuasaan hanya diambil sekiranya terdapat asas yang menunjukkan berlakunya kesalahan di bawah undang-undang yang berkuat kuasa.
Ini termasuk ucapan atau tindakan yang mempunyai elemen hasutan, kecenderungan menghasut, isu perkauman, isu keganasan, mencetus permusuhan, menggugat ketenteraman awam atau mengancam keselamatan negara.
Akta Hasutan 1948 pada masa ini masih relevan sebagai instrumen penguatkuasaan dalam menangani kes-kes yang mempunyai kecenderungan menghasut. Setiap laporan polis yang diterima, kita akan nilai berasaskan fakta dan keterangan kes serta disiasat mengikut prosedur undang-undang tanpa mengira latar belakang individu yang terlibat.
Ahli Yang Berhormat, manakala sebarang keputusan pendakwaan pula adalah di bawah bidang kuasa pihak pendakwaan berdasarkan keterangan yang mencukupi bagi setiap kes. Kerajaan komited dalam memastikan keseimbangan antara kebebasan bersuara dan sebagaimana yang di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan dengan kepentingan menjaga keselamatan dan ketenteraman awam.
Dibangkitkan tadi juga adalah keperluan memperkukuhkan keupayaan PDRM dalam mengendalikan kes melibatkan kanak-kanak. Ini termasuk latihan dan pendekatan-pendekatan kepada pegawai serta pertimbangan mewujudkan division unit khusus bagi kanak-kanak yang berasingan. Ini dibangkitkan oleh Tumpat.
Untuk makluman Ahli Dewan, PDRM melalui Bahagian Jenayah Seksual Wanita Kanak-kanak D11, Jabatan Siasatan Jenayah sentiasa memperkukuhkan kompetensi pegawai polis dan pegawai psikologi melalui latihan berkaitan komunikasi dan temu bual kanak-kanak. Pengendalian mangsa rentan, pendekatan trauma serta intervensi psikologi, Bahagian D11 turut melaksanakan intervensi dan sokongan psikologi kepada mangsa dan serta keluarga.
Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar bin Haji Nasarah
Bagi kes-kes yang kompleks dan berprofil tinggi, analisa tingkah laku juga dilaksanakan bagi memahami corak tingkah laku, dinamika psikologi, faktor risiko serta kerentatan sebagai input profesional dalam menyokong proses siasatan serta strategi panel kes yang lebih menyeluruh dan mengutamakan kepentingan terbaik kanak-kanak yang terlibat.
Di samping itu Yang Berhormat, PDRM kita sentiasa menilai keperluan untuk kita perkukuhkan struktur dan keupayaan organisasi dalam mengendalikan kes-kes yang melibatkan kanak-kanak termasuk melalui pengukuhan fungsi serta kepakaran sedia ada di Bahagian D11. Cadangan mewujudkan unit khusus untuk memfokuskan pengendalian kes-kes melibatkan kanak-kanak akan diteliti.
Kita akan meneliti cadangan ini secara menyeluruh dengan kita ambil kira trend jenayah serta beban tugas keperluan dan pakar juga berkaitan dengan sumber manusia. Implikasi kewangan juga diambil kira serta keberkesanan penyampaian perkhidmatan kita. Pada masa yang sama Yang Berhormat, PDRM kita akan terus memperkukuhkan kapasiti pegawai penyiasat melalui latihan lanjutan, pembangunan kepakaran khusus serta kerjasama strategik dengan kementerian, agensi berkaitan dan pihak pendakwaan.
Ini bagi pastikan setiap kes dikendalikan secara profesional, berpusat kepada mangsa, menggunakan pendekatan mesra kanak-kanak serta mengutamakan kepentingan terbaik kanak-kanak.
Yang Berhormat Jerlun cakap soal melindungi hak asasi manusia. Apakah melindungi hak asasi manusia ini benar-benar menggubah amalan di lapangan atau bangkitkan, dia menyebut adakah sekadar memenuhi petunjuk prestasi dalam menghasilkan sijil penyiasatan sahaja. Ini dibangkitkan.
Saya hendak sebut bahawa, banyak lagi perkara-perkara lain yang dibangkitkan oleh Jerlun ini, tetapi itu antara yang dibangkitkan. Jadi, PDRM telah membangunkan dan melaksanakan modul hak asasi manusia untuk PDRM dengan kerjasama Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) sebagai rujukan kepada pakar pengajar di institusi latihan PDRM.
Modul ini sebenarnya bertujuan untuk memperkukuh kompetensi Yang Berhormat, tenaga pengajar serta menyeragamkan penyampaian latihan bagi usaha untuk kita memperkasakan amalan kepolisan yang lebih profesional, berintegriti dan menghormati undang-undang.
Modul Hak Asasi Manusia untuk PDRM ini telah merangkumi isu-isu tersebut secara menyeluruh, Yang Berhormat. Antaranya ialah pengendalian kanak-kanak yang berkonflik dengan undang-undang, layanan terhadap orang kurang upaya, soal-soal yang berkaitan dengan warga emas, individu yang mengalami masalah kesihatan mental serta prinsip-prinsip berkaitan pengurusan awam.
Kandungan modul ini juga kita selaraskan dengan konvensyen hak asasi manusia CRC konvensyen mengenai hak orang kurang upaya dan konvensyen antarabangsa mengenai hak ekonomi dan sosial dan budaya bagi memastikan latihan yang diberikan selaras dengan amalan terbaik dan kerangka perundangan negara.
Dari segi keberkesanan modul ini, ia tidak boleh dinilai berasaskan statistik aduan semata-mata Yang Berhormat, sebaliknya melalui pengukuhan kompetensi tenaga pengajar, pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) dan penambahbaikan berterusan dalam pelaksanaan tugas. Bagi tujuan perbandingan...
Dr. Haji Abd Ghani bin Ahmad - Jerlun
Yang Berhormat Menteri, boleh minta laluan sedikit?
Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar bin Haji Nasarah
Sekejap saya habis, saya habis perenggan ini. Bagi tujuan perbandingan, Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) PDRM kita merekodkan 378 kes pada tahun 2023. 407 kes pada 2024 dan 463 kes pada tahun 2025 di bawah kategori kes jenayah melibatkan PDRM.
Untuk makluman Ahli Dewan, JIPS tidak merekodkan kekerasan sebagai kategori yang berasingan dan sebarang aduan yang memenuhi elemen jenayah akan direkod di bawah kategori tersebut. Dalam tempoh sama, untuk makluman sebanyak 12 kes pada tahun 2023, 13 kes 2024 dan 20 kes 2025 direkod bagi kes kematian dalam tahanan.
Manakala Suruhanjaya Integriti Agensi Berkuasa, Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) telah menerima sebanyak satu aduan pada 2023. 338 aduan 2024 dan 388 pada 2025. Statistik tersebut sebenarnya kita perlu tafsir dengan mengambil kira perubahan mekanisme pemantauan susulan penubuhan IPCC pada Julai 2023, yang mengambil alih tugas fungsi penerima aduan berkaitan PDRM daripada EAIC.
Apa pun kementerian akan terus perkukuhkan latihan hak asasi manusia, soal-soal berkaitan integriti, tadbir urus. Ini bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kita perkhidmatan kepolisan yang profesional, berakauntabiliti serta terus mendapat kepercayaan masyarakat. Yang Berhormat, harap jangan perkara baru Yang Berhormat.
Dr. Haji Abd Ghani bin Ahmad - Jerlun
Cuma rentetan soalan saya semalam, tentang tempoh masa yang agak lama diambil oleh pihak polis dari segi siasatan itu. Adakah ada penambahbaikan selepas modul kursus yang diberikan?
Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar bin Haji Nasarah
Yang Berhormat, tempoh lama siasatan itu bergantung kepada proses siasatan lah. Ia mungkin berkaitan dengan saksi dan sebagai lah. Apa pun kita kekal untuk melaksanakan mengikut prosedur dan peraturan-peraturan yang terkini.
Kita tidak boleh untuk membuat siasatan tanpa bukti-bukti lengkap dan sebagainya lah untuk mengelakkan kes ini kalau dibawa ke mahkamah ditolak dan sebagainya. Apa pun pandangan Yang Berhormat, kita ambil maklum Yang Berhormat. Saya hendak beralih sedikit ke isu lain.
Datuk Che Mohamad Zulkifly bin Jusoh - Besut
Menteri...
Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar bin Haji Nasarah
Tiga minit Yang Berhormat. Setakat itu saya jawab, yang lain saya jawab bertulislah. Tuan Yang di- Pertua, ini kluster halal imigresen. Sebagai sebuah negara yang dinamik dan pesat membangun, Malaysia tidak terlepas daripada cabaran pengurusan imigresen global.
Kemasukan pendatang asing serta ancaman reputasi buruh paksa.
Berkaitan dengan pelarian, pendatang asing, migran, pencari suaka ini Indera Mahkota ada bangkitkan kedudukan sebenar pendatang asing di Malaysia termasuk jumlah situasi semasa, hendak tahu tentang tindakan kerajaan serta peranan kita Ahli Dewan dalam membantu menangani isu ini.
Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) kita sentiasa perkukuhkan tindakan penguatkuasaan terhadap pendatang tanpa izin (PATI). Melalui pendekatan yang holistik merangkumi operasi penguatkuasaan pelaksanaan Program Repatriasi Migran, pemantauan pematuhan oleh ekspatriat, penguatkuasaan serta kerjasama strategik dengan pelbagai agensi penguatkuasa lain.
Untuk makluman bagi tempoh 1 Januari hingga 15 Jun 2026, JIM telah melaksanakan sebanyak 5,430 operasi penguatkuasaan di seluruh negara dengan pemeriksaan melibatkan 76,681 individu. Hasil daripada operasi tersebut, seramai 18,687 PATI telah ditahan atas pelbagai kesalahan di bawah undang-undang imigresen.
Untuk makluman, selain tindakan tangkapan kerajaan turut menyediakan Program Pulang Secara Sukarela yang dilaksanakan mulai 19 Mei 2025 sehingga Jun 2026 seramai 264,961 warga asing daripada 112 buah negara telah berdaftar di bawah program ini. Daripada jumlah berkenaan 242,093 orang telah...
Datuk Willie anak Mongin - Puncak Borneo
YB Menteri, kalau izinkan saya untuk mencelah sedikit. Puncak Borneo. Terima kasih Yang Berhormat Menteri.
Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar bin Haji Nasarah
Tidak, tidak. Isu ini, isu ini. Isu mana?
Datuk Willie anak Mongin - Puncak Borneo
Berkenaan dengan JIM, saya ada menyebut mengenai Pusat Depot Bukit Semuja di mana terdapat banyak kekurangan dan kedaifan di situ semasa perbahasan saya. Kalau boleh saya hendak tahu update mengenai permasalahan di situ yang saya bangkitkan semasa perbahasan. Terima kasih.
Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar bin Haji Nasarah
Okey, Yang Berhormat.
Saya tak ada data lengkap mengenai perkara itu.
Datuk Willie anak Mongin - Puncak Borneo
Tak apa. Kalau secara bertulis pun boleh, terima kasih.
Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar bin Haji Nasarah
Boleh, boleh. Saya nak habis isu ini Yang Berhormat tinggal empat saat je isu ini je.
Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar bin Haji Nasarah
Jadi, bagi menangani kebimbangan mengenai kewujudan kawasan tumpuan
(hotspot) yang didominasi oleh PATI ini Yang Berhormat sehingga menimbulkan keresahan di kalangan masyarakat setempat. KDN melalui JIM telah melaksanakan beberapa langkah-langkah mitigasi secara berterusan. Umpamanya, kita pergiatkan aktiviti inspektorat.
Penguatkuasaan di lokasi-lokasi berisiko tinggi seperti di premis yang menggaji pekerja asing, institusi pendidikan, kawasan perniagaan pasar raya, pasar borong serta kawasan perumahan. Kalau kita lihat tempoh 1 hingga— Januari hingga 15 Jun sebanyak 2,528 pemeriksaan telah dijalan. Pendekatan ini sebenarnya bertujuan untuk mengesan membanteras sebarang pelanggaran syarat pas serta penyalahgunaan kemudahan imigresen oleh warganegara ataupun majikan itu sendiri.
Melaksanakan operasi bersepadu ini secara berskala bersama dengan agensi penguat kuasa lain— dengan polis, dengan JPN, pihak berkuasa tempatan, agensi-agensi lain yang berkaitan. Kalau kita lihat tempoh 1 Januari hingga 15 Jun 2026, 427 operasi bersepadu telah dilaksana. Ini bagi mengekang kehadiran PATI, mengurangkan aktiviti yang menyalahi undang-undang serta memastikan ketenteraman awam terus terpelihara. Soal keselamatan kedaulatan negara tetap kita beri keutamaan.
Kita juga perkukuhkan kerjasama strategiklah dengan PBT untuk menangi isu-isu penglibatan warga asing dalam aktiviti perniagaan. Ini banyak dibangkitkan yang menyalahi peraturan serta penguatkuasaan— penguasaan kawasan tertentu secara tidak sah. Ini dibuat secara berterusan. Ini melibatkan perkongsian maklumat, penyelarasan operasi serta tindakan penguatkuasaan secara bersama.
Dalam operasi bersepadu tersebut, JIM mengambil tindakan terhadap kesalahan imigresen. JIM— kesalahan-kesalahan berkaitan imigresen di bawah jawatankuasa JIM. Kalau PBT mengambil tindakan terhadap pelanggaran syarat lesen dan peraturan premis perniagaan. Ini kalau kita lihat rekod 1 Januari hingga 15 Jun 2026, sebanyak 71 operasi bersama PBT telah berjaya kita laksanakan. Jadi, yang penting apa juga pelanggaran dari segi undang-undang kekal akan diambil tindakan oleh KDN melalui JIM serta agensi-agensi yang berkaitan.
Yang Berhormat memang satu jam lagi tak selesai kalau saya jawab ini. Jadi, saya mengucapkan banyak terima kasih kepada Ahli-ahli Yang Berhormat yang mengambil bahagian dalam perbahasan dan Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan SUHAKAM Tahun 2024. Terima kasih, segala pandangan-pandangan yang diberikan kita ambil maklum dan ambil tindakan yang baik dan tentunya pandangan daripada laporan tahunan dan penyata kewangan ini memang menjadi keutamaan KDN untuk diambil tindakan sewajarnya. Terima kasih Ahli Yang Berhormat.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Terima kasih Yang Berhormat Menteri Dalam Negeri. Berikut dipersilakan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat - Puan Lim Hui Ying
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. KPWKM merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada empat orang Ahli Yang Berhormat yang telah berbahas dan menyentuh isu-isu di bawah seliaan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dalam sesi perbahasan Laporan Tahunan SUHAKAM 2024 pada 7 dan 8 Jun.
Berhubung dengan pertanyaan Yang Berhormat Tumpat berkaitan dengan cadangan memperkukuhkan dasar kanak-kanak dengan melaksanakan kajian secara berkala. Untuk maklumat Ahli Yang Berhormat, kerajaan telah melancarkan Dasar Kanak-kanak Negara yang baharu pada 24 November 2024. Dasar ini merupakan komitmen kerajaan untuk memperkukuh ekosistem perlindungan, pembangunan dan kesejahteraan kanak-kanak secara lebih menyeluruh.
Bagi memastikan hasrat dan objektif dasar ini dapat diterjemahkan kepada tindakan yang tersusun, bersepadu dan berkesan, kerajaan telah melancarkan Pelan Tindakan Dasar Kanak-kanak Negara 2026–2030 pada 18 November 2025. Melalui pelan tindakan ini, terdapat program yang telah dirangka dan dilaksana untuk melahirkan kanak-kanak yang dapat mencapai potensi mereka sepenuhnya melalui pelaksanaan advokasi pembaharuan undang-undang, pembangunan kapasiti dan pengukuhan tadbir urus.
Antara program yang dilaksanakan ialah program advokasi perlindungan kanak-kanak, kasih kanak-kanak dan program pembangunan kapasiti pelindung dan pegawai akhlak.
KPWKM pada masa ini memberi tumpuan untuk memastikan pelaksanaan dasar berjalan secara berkesan, terselaras dan berimpak melalui mekanisme pemantauan dan penilaian pelaksanaan secara berkala termasuk pengumpulan data, libat urus dengan pihak berkepentingan serta penilaian terhadap kemajuan program dan inisiatif yang sedang dilaksanakan. Pendekatan ini membolehkan sebarang isu jurang pelaksanaan atau keperluan penambahbaikan dikenal pasti lebih awal tanpa perlu menunggu kajian semula menyeluruh.
Untuk makluman, KPWKM sememangnya telah merancang untuk melaksanakan kajian separuh penggal ke atas pelan tindakan dasar kanak-kanak ini supaya penambahbaikan secara bersasar boleh dibuat berdasarkan dapatan pemantauan, perubahan keperluan semasa serta input daripada agensi pelaksana, masyarakat sivil, pakar dan kanak-kanak sendiri.
Seterusnya, berhubung dengan pertanyaan atau isu yang dibangkit oleh Yang Berhormat Hulu Selangor berkaitan tentang tindakan kementerian dalam membantu Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) yang tidak berkemampuan dari segi kewangan. Pada masa kini, KPWKM menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat menyediakan peruntukan berjumlah RM140 juta bagi 576 buah PDK di seluruh negara. Bantuan kewangan ini bertujuan untuk membiayai elaun, sagu hati penyelia, sagu hati petugas, sewa premis, kos utiliti, caruman PERKESO dan KWSP bagi penyelia dan petugas dan juga elaun khas OKU.
Pengurusan PDK diuruskan dan bergerak sebagai sebuah pertubuhan atau badan bukan kerajaan yang berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan iaitu ROS. Pertumbuhan PDK boleh melaksanakan pelbagai inisiatif bagi mendapatkan dana tambahan bagi pengoperasian PDK masing-masing.
Seterusnya juga dari Yang Berhormat Hulu Selangor membangkitkan berkenaan keperluan PDK didaftar sebagai pusat jagaan. JKM telah menetapkan bahawa program pemulihan dalam komuniti yang beroperasi sebagai pusat jagaan harian hendaklah didaftarkan di bawah Akta Pusat Jagaan 1993 atau Akta 506.
Penetapan ini dibuat berdasarkan penelitian terhadap bentuk pengoperasian dan perkhidmatan yang disediakan yang didapati memenuhi tafsiran pusat jagaan harian sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Akta 506.
Untuk maklumat Yang Berhormat, mengikut seksyen 2, pusat jagaan harian iaitu bermakna mana-mana premis di mana empat atau lebih diterima untuk jagaan selama suatu tempoh berterusan yang melebihi tiga jam sehari dan selama sekurang-kurangnya tiga hari seminggu, sama ada untuk upah atau tidak.
Pelaksanaan pendaftaran ini bertujuan memastikan PPDK mematuhi standard minimum yang ditetapkan dari aspek keselamatan, kebajikan, kesihatan dan kesejahteraan peserta, di samping memperkukuhkan tadbir urus serta mekanisme pemantauan oleh jabatan.
Seterusnya Yang Berhormat Kuala Nerus telah mencadangkan agar bilangan pusat aktiviti warga emas (PAWE) diperluaskan lagi untuk membolehkan lebih ramai warga emas mendapat akses kepada program dan aktiviti yang dapat mengurangkan gejala kesunyian serta meningkatkan kesejahteraan dan kualiti hidup mereka.
Sehingga kini, terdapat sebanyak 217 PAWE aktif yang beroperasi secara inklusif di seluruh negara. Bagi memenuhi syor kesaksamaan akses oleh SUHAKAM, JKM telah menyasarkan penubuhan sekurang-kurangnya 10 buah PAWE baharu setiap tahun mulai tahun 2027 sehingga 2030. Kementerian menyasarkan tambahan sebanyak 40 buah PAWE baharu menjelang tahun 2030.
Walau bagaimanapun ia bergantung pada kelulusan peruntukan kewangan kerajaan. Bagi mengatasi kekangan premis fizikal di lokasi tertentu, JKM juga telah memperkenalkan inisiatif pemerkasaan program aktiviti warga emas tanpa premis iaitu kita sebut PAWE 3A iaitu dengan izin anywhere, anyplace, anytime.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat - Puan Lim Hui Ying
Langkah ini bagi memastikan tiada kelompok warga emas yang terpinggir daripada aktiviti penjangkauan sosial. PAWE@3A boleh dilaksanakan di mana-mana lokasi bersesuaian dan mudah dijangkau oleh majoriti warga emas.
Akhirnya, satu lagi isu yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Kuala Krai telah membangkitkan isu berkaitan hak warga emas untuk memperoleh keperluan rohani yang selayaknya. JKM amat mengambil berat tentang pendidikan rohani dan program-program penuaan berbentuk ibadah dan keagamaan agar keperluan rohani penghuni warga emas di institusi di bawah pentadbiran JKM dipenuhi dan terisi dengan sebaiknya.
Dalam memastikan perkara tersebut, JKM telah melaksanakan pelbagai program keagamaan di institusi. Antaranya, bekerjasama dengan JAKIM dalam membekalkan tenaga guru takmir untuk mengajar fardu ain dan kelas agama di institusi-institusi warga emas pada setiap minggu; melaksanakan program rutin keagamaan yang diaturkan oleh Pembantu Hal Ehwal Islam selaku pegawai kader JAKIM di semua institusi warga emas; dan juga melaksanakan sambutan hari-hari kebesaran Islam dalam mengimarahkan institusi dengan program keagamaan.
Bagi penghuni bukan beragama Islam pula, pihak institusi akan bekerjasama dengan pihak NGO dalam menjalankan program keagamaan mengikut kepercayaan warga emas masing-masing di rumah-rumah ibadah mereka.
JKM juga telah membangunkan dokumen rancangan pelaksanaan aktiviti penghuni di institusi warga emas sebagai garis panduan kepada semua penjaga institusi dalam melaksanakan aktiviti mengikut lima dimensi iaitu sihat, aktif, produktif, positif dan menyokong yang digariskan dalam Dasar Warga Emas Negara bagi memastikan kesejahteraan warga emas dari aspek fizikal, mental dan rohani terjamin.
Beginilah Tuan Yang di-Pertua, jadi bagi pihak...
Dato’ Hajah Siti Zailah binti Mohd Yusoff - Rantau Panjang
Tuan Yang di-Pertua, boleh saya...
Puan Lim Hui Ying
Yes.
Dato’ Hajah Siti Zailah binti Mohd Yusoff - Rantau Panjang
Terima kasih, terima kasih Timbalan Menteri. Tadi saya ada bangkitkan dalam perbahasan berkaitan dengan perjanjian Malaysia dalam CEDAW. Sejauh mana usaha yang dibuat oleh kementerian berkaitan dengan usaha mewujudkan rang undang-undang antidiskriminasi kepada wanita, juga polisi 30 peratus sebab itu ada dalam perjanjian.
Sejauh mana usaha yang dibuat untuk perkara ini dapat dilaksanakan dalam negara?
Puan Lim Hui Ying
Terima kasih Yang Berhormat Rantau Panjang.
Berkenaan dengan CEDAW ini, kita memang dalam proses mengikut apakah yang telah dibincangkan. Dan ini yang kalau nak detil dari segi diskriminasi, maaf sekarang saya tak ada. Saya akan menjawab secara bertulis kepada Yang Berhormat. Jadi, begitulah penggulungan dari kementerian KPWKM dan sekali lagi kami mengucapkan terima kasih kepada semua Ahli Berhormat yang telah mengambil bahagian. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato' Dr. Ramli bin Dato' Mohd Nor
Terima kasih Yang Berhormat Menteri. Berikut dipersilakan Kementerian Luar Negeri, Menteri.
Timbalan Menteri Luar Negeri - Dato Lukanisman bin Awang Sauni
Terima kasih Yang di-Pertua. Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera dan salam Malaysia MADANI. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua kerana memberikan saya peluang untuk menjawab perkara-perkara yang berkaitan dengan Kementerian Luar Negeri dalam sesi perbahasan Laporan Tahunan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) bagi tahun 2024 di Dewan yang mulia ini. Dan juga saya mengucapkan terima kasih kepada tiga Ahli Parlimen yang berbahas berkenaan tentang laporan SUHAKAM ini iaitu Yang Berhormat Sik, Yang Berhormat Langkawi dan juga Yang Berhormat Shah Alam.
Saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada SUHAKAM atas pengiktirafan terhadap kerjasama erat antara SUHAKAM dan Kementerian Luar Negeri dalam mempromosi dan melindungi hak asasi manusia di Malaysia sebagaimana yang direkodkan dalam Laporan Tahunan SUHAKAM 2024.
Antara usaha yang diketengahkan termasuk pembentangan Laporan Kebangsaan Malaysia bagi kitaran keempat Penilaian Berkala Sejagat atau Universal Periodic Review (UPR) pada 25 Januari 2024 di Majlis Hak Asasi Manusia di Geneva, Switzerland serta lawatan Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan pakar bebas mengenai hak asasi manusia bagi warga emas ke Malaysia pada tahun 2024.
Tuan Yang di-Pertua, terdahulu saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Dato’ Mohd Suhaimi bin Haji Abdullah, Langkawi dan Yang Berhormat Tuan Ahmad Tarmizi bin Sulaiman, Sik yang telah menyentuh ketidakupayaan masyarakat antarabangsa untuk menghentikan konflik di Palestin yang mempengaruhi persepsi negatif mengenai perlindungan hak asasi manusia.
Malaysia terus memandang serius terhadap penderitaan rakyat Palestin, terutamanya di Gaza. Segala bentuk penindasan dan pencabulan hak asasi rakyat Palestin oleh rejim Zionis Israel kekal memerlukan perhatian berterusan daripada masyarakat antarabangsa.
Malaysia akan terus menggesa masyarakat antarabangsa agar memperhebatkan usaha menghentikan keganasan; memastikan akses bantuan kemanusiaan disalurkan secara selamat, segera dan tanpa halangan; serta memperkukuhkan perlindungan terhadap orang awam selaras dengan undang- undang kemanusiaan antarabangsa.
Berkenaan tentang Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Tuan Yang di-Pertua, di platform Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) termasuk Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC), Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA), Majlis Hak Asasi Manusia PBB (HRC) dan badan-badan kemanusiaan antarabangsa.
Malaysia secara konsisten menyuarakan pendirian yang tegas dalam memperjuangkan hak rakyat Palestin termasuk untuk memastikan Palestin diberikan perlindungan daripada pendudukan haram yang berpanjangan, Dasar Apartheid dan sebarang pelanggaran hak asasi manusia termasuk jenayah terhadap kemanusiaan, genosid dan jenayah perang yang dilakukan oleh rejim Israel.
Malaysia juga akan terus memperjuangkan isu Palestin ke arah merealisasikan penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat berdasarkan persempadanan pra-1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara serta memastikan Palestin diterima sebagai anggota penuh PBB.
Selain itu, Malaysia juga konsisten menyokong proses perundangan antarabangsa untuk menegak keadilan bagi rakyat Palestin. Ini termasuk penglibatan aktif Malaysia dalam semua prosiding Pendapat Nasihat ataupun Advisory Opinion di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung Palestin iaitu pada tahun 2024 dan 2025.
Tuan Yang di-Pertua, saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Shah Alam yang membangkitkan isu pelarian, khususnya etnik Rohingya. Untuk makluman Dewan yang mulia ini, perkara tersebut telah saya jelaskan semasa sesi Kamar Khas yang diadakan semalam.
Malaysia secara konsisten menggunakan medium ASEAN untuk menggesa penyelesaian aman di Myanmar di samping menyokong usaha kemanusiaan melalui kerjasama dengan UNHCR dalam aspek perlindungan dan bantuan kepada pelarian Rohingya di Malaysia. Pendekatan ini mencerminkan komitmen Malaysia terhadap prinsip keselamatan serantau dan bertanggungjawab— dan tanggungjawab kemanusiaan memandangkan krisis pelarian dan pemohon suaka termasuk etnik Rohingya ini telah memberi kesan rentas sempadan seperti migrasi tidak teratur, pemerdagangan orang dan cabaran keselamatan.
Sehubungan itu, Malaysia berpandangan bahawa isu Rohingya memerlukan pendekatan yang menyeluruh melalui kerjasama erat antara ASEAN, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan masyarakat antarabangsa yang berkaitan. Malaysia juga kekal menyokong pelaksanaan Kemuafakatan Lima Perkara (5PC) sebagai kerangka utama ASEAN dalam menangani krisis di Myanmar di samping mengiktiraf bahawa penyelesaian yang berkekalan memerlukan sokongan dan penglibatan masyarakat antarabangsa yang lebih luas.
Dalam hubungan ini, Malaysia akan terus membangkitkan kepentingan perkongsian tanggungjawab antarabangsa, international burden and responsibility sharing termasuk keperluan untuk meningkatkan peluang penempatan semula pelarian-pelarian ke negara ketiga. Sekian, terima kasih.
Tuan Haji Azli bin Yusof - Shah Alam
Menteri, boleh saya dapatkan— Speaker, kalau ada— kalau tidak ada jawapan sekarang, minta jawapan bertulis...
Dato Lukanisman bin Awang Sauni
Okey.
Tuan Haji Azli bin Yusof - Shah Alam
Statistik tentang penghantaran pelarian Rohingya ini ke negara ketiga mungkin untuk lima hingga 10 tahun yang terdahulu. Terima kasih.
Dato Lukanisman bin Awang Sauni
Terima kasih Yang Berhormat. Kita akan kongsikan sedikit maklumat rasmi yang telah diberikan oleh pihak UNHCR dan juga penglibatan negara kita dalam menghantar pelarian-pelarian ke negara ketiga, khususnya Rohingya dan juga pelarian-pelarian yang lain. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Terima kasih Yang Berhormat Menteri. Berikut dipersilakan Menteri Kementerian Kesihatan.
Timbalan Menteri Kesihatan - Dato Hajjah Hanifah Hajar Taib
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam sejahtera.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Waalaikumussalam.
Dato Hajjah Hanifah Hajar Taib
Salam Malaysia MADANI. Saya mengucapkan terima kasih kepada enam orang Ahli Yang Berhormat yang telah membahaskan Laporan Tahunan SUHAKAM 2024 yang berkaitan dengan isu kesihatan. Antaranya telah menyentuh empat isu yang dilaporkan dalam laporan tersebut iaitu:
(i) kematian di lokap polis;
(ii) kekurangan kakitangan kesihatan di pusat tahanan;
(iii) audit penambahbaikan keperluan asas di penjara dan pusat tahanan; dan
(iv) perkhidmatan kesihatan bagi kanak-kanak tanpa dokumen.
Manakala, isu yang dibahaskan tetapi tidak dilaporkan dalam laporan SUHAKAM, saya mohon menjawab bertulis.
KKM mengambil maklum balas— maklum perbahasan Yang Berhormat Kota Melaka mengenai insiden kematian di Penjara Taiping pada 17 Januari 2025 dan mengenai kenyataan bahawa ada pegawai perubatan terlibat cuba menukar laporan perubatan bagi menutupkan kes.
Pertama sekali, saya mengucapkan terima kasih kepada SUHAKAM kerana telah mengeluarkan laporan yang cukup baik sebagai sebahagian daripada proses semak dan imbang. Hak asasi kemanusiaan adalah satu amanah yang sentiasa dipegang teguh oleh KKM dan tiada diskriminasi antara sesiapa pun termasuk banduan untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan. Salah atau tidak, biarlah undang-undang yang menentukan.
KKM memandang serius berhubung dakwaan menukar laporan perubatan oleh pegawai perubatan. Jika benar, ya, itu perbuatan salah. Untuk itu, Ketua Pengarah Kesihatan telah melantik Jawatankuasa Siasatan Khas pada 3 Jun 2026 selepas dimaklumkan kepada KKM pada 25 Mei 2026 semasa pembentangan keputusan inkuiri awam oleh pihak SUHAKAM. Siasatan masih sedang dilaksanakan dan segala dakwaan akan diteliti berdasarkan fakta, dokumen serta keterangan saksi dan tertuduh.
KKM tidak akan berkompromi terhadap sebarang salah laku atau pelanggaran etika profesional oleh mana-mana pegawai. Sekiranya siasatan mendapati wujud salah laku oleh pegawai perubatan KKM, tindakan yang keras akan diambil, selaras dengan peruntukan undang-undang dan Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 yang berkuat kuasa.
Pada masa yang sama, KKM sedang melaksanakan penyelarasan semua penyampaian perkhidmatan kesihatan di institusi penjara melalui perbincangan dan libat urus berterusan bersama Jabatan Penjara Malaysia bagi mengatasi isu-isu teknikal kesihatan yang dikenal pasti serta memperkukuh tadbir urus penyampaian perkhidmatan kesihatan di institusi penjara.
Sejajar dengan itu, KKM telah menubuhkan Unit Kesihatan Institusi yang dibangunkan di Bahagian Perkembangan Kesihatan Awam KKM bagi memantau, menyelaras serta meneliti kualiti standard perkhidmatan supaya dipatuhi sepenuhnya berkuat kuasa mulai 1 Oktober 2025. Seiring dengan itu, memorandum persefahaman dan garis panduan penyampaian perkhidmatan kesihatan di institusi penjara sedang dibangunkan bagi memperkukuh kerjasama strategik antara KKM dan Jabatan Penjara Malaysia.
Yang berhormat Puncak Borneo telah membangkitkan mengenai kekurangan anggota sentri wanita, pegawai perubatan dan juga pegawai psikologi di pusat tahanan. Untuk makluman, pengisian jawatan pegawai perubatan di institusi penjara adalah tertakluk kepada jawatan kader yang diperuntukkan kepada Jabatan Penjara Malaysia serta ketersediaan pegawai untuk ditempatkan.
KKM sedang bekerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Perkhidmatan Awam dan Kementerian Kewangan bagi memperkukuh perjawatan kader dan penyampaian perkhidmatan kesihatan di institusi penjara. Perkara ini turut dibincangkan dalam sesi libat urus berhubung pindaan Akta Penjara 1995. Pindaan pada takrifan pengamalan perubatan, termasuk keperluan penambahan perjawatan kader, berdasarkan keperluan perkhidmatan.
Di samping itu, KKM turut berhadapan dengan kekangan pengisian anggota kesihatan berikutan keperluan penyampaian perkhidmatan di fasiliti kesihatan KKM.
Sehubungan itu, perisian jawatan di institusi penjara dilaksanakan secara berfasa, berdasarkan keutamaan perkhidmatan, kekosongan jawatan kader yang diluluskan, serta ketersediaan sumber manusia.
Yang Berhormat Puncak Borneo dan Yang Berhormat Maran turut menyarankan supaya kerajaan memberikan perhatian serius kepada keperluan asas tahanan, kebajikan, kesihatan dan hak asasi penghuni pusat tahanan. Dalam hal ini, KKM telah pun bekerjasama dengan KDN untuk menambah baik perkara-perkara yang saya sebutkan tadi.
KKM melalui Sektor Kesihatan Persekitaran dan Perubahan Iklim, Bahagian Kawalan Penyakit telah menjalankan penilaian risiko kesihatan persekitaran secara rutin ke atas 42 buah penjara termasuk dua pusat pemulihan pesalah juvana yang telah diwartakan sebagai penjara di bawah seksyen 3, 4 dan 8 Akta Penjara 1995.
Penilaian ini melibatkan 30 buah penjara di Semenanjung Malaysia dan 12 buah penjara di Sabah, Sarawak serta Wilayah Persekutuan Labuan. Pasukan Kesihatan di Pejabat Kesihatan Daerah yang terlibat perlu melaksanakan penilaian setiap enam bulan sekali iaitu pusingan pertama, sepanjang Januari hingga Jun dan pusingan kedua sepanjang Julai hingga Disember.
Aspek Penilaian Risiko Kesihatan Persekitaran penjara dikategorikan kepada enam bahagian utama seperti berikut:
(i) maklumat bilangan banduan iaitu indeks kesesakan;
(ii) perkhidmatan kesihatan meliputi kemudahan anggota kesihatan di penjara;
(iii) perkhidmatan kecemasan, perkhidmatan perubatan, farmasi kawalan penyakit, pendidikan dan promosi kesihatan, kesihatan mental, kematian dan hukuman;
(iv) keselamatan sel;
(v) dapur diet, menu;
(vi) kesihatan persekitaran, kebersihan lantai dan dinding; dan
(vii) pematuhan kepada Peraturan Penjara 2000.
Pemeriksaan kesihatan di 42 penjara mendapati kebanyakan penjara mempraktikkan amalan kesihatan yang digariskan oleh pihak kesihatan. Walau bagaimanapun, terdapat juga beberapa isu atau perkara yang sering dilaporkan melalui laporan pemeriksaan persekitaran penjara seperti yang telah dimaklumkan oleh SUHAKAM.
Yang Berhormat Kulim-Bandar Baharu telah membangkitkan mengenai langkah yang diambil kerajaan bagi menyelesaikan isu kanak-kanak yang dilahirkan di negara ini tetapi menghadapi kesukaran untuk mendapat rawatan di hospital awam. KKM sentiasa memastikan akses kepada perkhidmatan kesihatan disediakan secara menyeluruh kepada semua golongan masyarakat termasuk kanak-kanak tanpa dokumen, selaras dengan prinsip, prinsip kesaksamaan dan kemanusiaan.
Bagi menjaminkan akses kepada perkhidmatan kesihatan yang menyeluruh, KKM telah menetapkan dasar bahawa perkhidmatan kesihatan diberikan tanpa mengira taraf kewarganegaraan pesakit. Walau bagaimanapun, pesakit termasuk kanak-kanak yang gagal atau tidak mengemukakan dokumen pengenalan diri seperti MyKad, MyKid atau sijil kelahiran adalah tertakluk kepada pengenaan caj di bawah Perintah Fi (Perubatan) (Kos Perkhidmatan) 2014.
Namun begitu, KKM telah menyediakan pelbagai kemudahan. Antara lain adalah seperti berikut:
(a) mengurangkan sebanyak 50 peratus caj perkhidmatan kesihatan yang merangkumi rawatan perubatan, pembedahan, siasatan, ubat-ubatan, rawatan pesakit luar am atau pakar dan rawatan pesakit dalam wad kelas 3 bagi pesakit atau kanak-kanak yang mempunyai kad UNHCR;
(b) pengecualian fi perkhidmatan imunisasi Measles Rubella di bawah kempen Supplementary Immunisation Activity
(MRSIA) dan imunisasi bagi vaksin polio dalam bentuk vaksin kombinasi enam serangkai kepada kanak-kanak warga asing berumur tujuh tahun ke bawah;
(c) pengurangan fi 50 peratus daripada kadar fi sedia ada bagi pemberian susu formula bagi bayi kepada ibu warga asing yang dijangkiti HIV;
(d) pengecualian fi bagi rawatan pesakit luar, ujian makmal dan lain-lain prosedur siasatan bagi pesakit yang disahkan menghidap penyakit berjangkit yang dirujuk ke fasiliti KKM untuk saringan dan pemeriksaan lanjut;
Dato Hajjah Hanifah Hajar Taib
(e) bagi kes-kes kecemasan yang memerlukan rawatan segera, KKM turut membenarkan kemasukan ke wad tanpa deposit dengan penggunaan Lampiran A – Borang Kebenaran Pegawai Perubatan bagi Kemasukan Wad Tanpa Deposit, Surat Pekeliling KSU KKM Bilangan 2/2015;
(f) memberikan pengecualian caj kepada pesakit bukan warganegara termasuk kanak-kanak dalam kategori tahanan kerajaan, mangsa penganiayaan dan mangsa kemalangan yang dirujuk oleh pegawai penguat kuasa semasa mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan KKM; dan
(g) bekerjasama dengan badan-badan bukan kerajaan dan agensi kerajaan lain seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat dalam membentuk pesakit terutamanya kanak-kanak dalam mendapatkan akses kepada perkhidmatan rawatan kesihatan di fasiliti-fasiliti kesihatan awam di bawah KKM.
Tuan Yang di-Pertua, sistem penyampaian perkhidmatan kesihatan di Malaysia disediakan oleh kerajaan untuk melindungi masyarakat umum dengan keutamaan diberikan kepada warganegara sebagai pembayar cukai selaras dengan tanggungjawab sosial negara.
Walau bagaimanapun, sejajar dengan prinsip kesihatan awam dan kemanusiaan, perkhidmatan kesihatan di Malaysia turut boleh diakses oleh semua individu yang berada di dalam negara termasuk warganegara asing, pelarian dan pemohon suaka tertakluk kepada dasar serta peraturan yang berkuat kuasa tanpa memberikan bebanan tambahan kepada sistem kesihatan sedia ada.
Tuan Yang di-Pertua, saya bagi pihak KKM ingin menegaskan sekali lagi komitmen tidak berbelah bahagi kami dalam menjamin kualiti perkhidmatan kesihatan yang inklusif, adil dan saksama buat seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang. Segala pandangan dan cadangan yang diutarakan oleh Ahli Yang Berhormat adalah amat bermakna bagi kami dalam usaha memperkasakan tadbir urus dan sistem penyampaian kesihatan negara.
KKM akan terus bekerjasama rapat dengan SUHAKAM serta agensi-agensi berkaitan bagi memastikan hak asasi manusia dalam kesihatan sentiasa dipelihara.
Semoga usaha berterusan ini akan membuahkan hasil yang positif demi kesejahteraan rakyat Malaysia.
Sekian, terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Terima kasih Yang Berhormat Menteri. Dipersilakan Menteri di Kementerian Sumber Manusia.
Timbalan Menteri Sumber Manusia - Tuan Khairul Firdaus bin Akbar Khan
Tuan Yang di-Pertua, saya merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan kepada 38 orang Ahli-ahli Yang Berhormat yang telah membahaskan Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia
(SUHAKAM) bagi Tahun 2024 di Dewan yang mulia ini.
Bagi pertanyaan melibatkan skop tugasan KESUMA, seramai lima Yang Berhormat telah mengambil bahagian. Pertama, Yang Berhormat Bagan Serai; kedua, Yang Berhormat Arau; ketiga, Yang Berhormat Kepong; keempat, Yang Berhormat Kulim-Bandar Baharu; dan yang kelima, Yang Berhormat Kuala Nerus.
Tuan Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, saya mulakan sesi penggulungan ini dengan menjawab pertanyaan Yang Berhormat Bagan Serai dan Yang Berhormat Arau yang membangkitkan persoalan perlindungan dan kebajikan pekerja gig diberikan perhatian dalam peringkat dasar serta perundangan semasa, juga keberkesanan pelaksanaan Akta Pekerja Gig 2025 sejak mula dikuatkuasakan dan kaedah menangani isu-isu seperti keselamatan, sistem algoritma dan lain-lain.
Untuk makluman Dewan yang mulia, KESUMA telah menggubal Akta Pekerja Gig 2025 yang telah dikuatkuasakan mulai 31 Mac 2026. Akta ini telah digubal dengan mengambil kira isu-isu serta pemasalahan yang dihadapi oleh pekerja gig.
Pihak KESUMA juga telah mengadakan sesi libat urus bagi mendapatkan input serta maklum balas daripada pemegang taruh sebelum menetapkan dasar dan menggubal akta ini.
Akta ini telah menyediakan perlindungan kepada pekerja gig di Malaysia.
Antara kandungan penting Akta 872 ialah seperti berikut:
(i) menyediakan peruntukan yang jelas mengenai definisi pekerja gig;
(ii) menyediakan mekanisme penyelesaian pertikaian melalui proses rundingan damai (conciliation) dan keputusan melalui Tribunal Pekerja Gig;
(iii) menyediakan perlindungan berkaitan keselamatan dan kesihatan pekerjaan;
(iv) menyediakan perlindungan keselamatan sosial melalui skim perlindungan di bawah PERKESO;
(v) penubuhan Majlis Perundingan Gig yang diberi tanggungjawab untuk menasihati dan membuat syor kepada kerajaan mengenai kadar pendapatan minimum, kadar lantai, formula yang digunakan serta standard minimum yang perlu diguna pakai; dan
(vi) pekerja gig boleh menubuhkan persatuan (association).
Di sini saya beri pencerahan bahawa Akta Pekerja Gig 2025 tidak memperuntukkan hak perundangan kolektif. Namun, akta ini membenarkan penubuhan persatuan bagi mewakili kepentingan dan kebajikan pekerja gig.
Persatuan juga boleh mewakili pekerja gig dalam prosiding di Tribunal Pekerja Gig.
KESUMA mengambil maklum berhubung cadangan SUHAKAM berhubung hak pekerja gig untuk menubuhkan kesatuan sekerja (trade union) dan hak untuk perundingan kolektif (collective bargaining). Namun, cadangan ini perlu melalui proses kajian, penelitian serta libat urus yang menyeluruh.
Untuk penyelesaian jangka pendek, segala bentuk pertikaian yang melibatkan hak-hak pekerja gig boleh diadukan melalui sistem e-Aduan yang boleh diakses secara atas talian. Aduan dikendalikan berdasarkan kepada jenis pertikaian dan akan disalurkan kepada jabatan atau agensi yang bertanggungjawab untuk tindakan. Sekiranya pertikaian tidak berjaya diselesaikan di peringkat jabatan, ia akan dirujuk kepada Tribunal Pekerja Gig.
Untuk penyelesaian jangka panjang, Majlis Perundingan Gig (MPGig) telah ditubuhkan pada 1 April 2026. Seramai 26 orang anggota yang mewakili pekerja gig, entiti kontrak, majikan, pihak kerajaan, ahli akademik dan golongan pemikir (think- tank) telah dilantik dan diwartakan bagi menyumbang idea menghasilkan syor kepada pihak kerajaan berkaitan kadar pendapatan minimum, kadar lantai, formula yang digunakan serta standard minimum yang perlu diguna pakai.
Satu kajian bertajuk Struktur Pampasan Yang Adil Bagi Pekerja Gig di Malaysia sedang dijalankan oleh konsultan dan kajian ini akan selesai, insya-Allah, pada bulan September tahun ini. Hasil kajian akan dibentangkan kepada MPGig untuk dibincangkan dan diperhalusi. MPGig akan mengemukakan syor kepada pihak kerajaan untuk kelulusan sebelum diwartakan melalui perintah oleh Menteri Sumber Manusia.
Tindakan ini akan menyelesaikan permasalahan penentuan kadar pendapatan minimum, kadar lantai yang menjadi pertikaian utama pada ketika ini.
Kegagalan mana-mana pihak untuk mematuhi perintah tersebut merupakan satu kesalahan dan boleh dihukum penjara tidak melebihi dua tahun atau didenda tidak melebihi RM50,000 atau kedua-duanya.
Yang Berhormat Kepong dan Yang Berhormat Kulim-Bandar Baharu membangkitkan persoalan mengenai isu pekerja migran terperangkap dalam sistem yang boleh membawa kepada buruh paksa. Di sini saya menegaskan bahawa KESUMA sentiasa bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan lain dalam usaha membanteras buruh paksa dan pemerdagangan orang bagi tujuan eksploitasi buruh.
Selain terlibat dalam operasi penguatkuasaan bersepadu bersama dengan agensi penguatkuasaan berkaitan, pegawai Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) turut menjalankan pemeriksaan dan siasatan di tempat pekerjaan serta merujuk kes-kes yang mempunyai elemen pemerdagangan oleh orang kepada agensi yang berkuasa untuk tindakan lanjut. Kerjasama antara agensi akan terus diperkukuh bagi meningkatkan keberkesanan pengesanan, siasatan dan penguatkuasaan terhadap kesalahan berkaitan.
JTKSM sentiasa memastikan hak pekerja berkaitan pembayaran upah dan manfaat pekerjaan dipelihara selaras dengan peruntukan undang-undang buruh yang berkuat kuasa. Sebarang dasar berkaitan...
Tuan Hassan bin Abdul Karim - Pasir Gudang
Yang Berhormat Menteri, boleh mencelah?
Tuan Khairul Firdaus bin Akbar Khan
Boleh, Yang Berhormat Pasir Gudang.
Tuan Hassan bin Abdul Karim - Pasir Gudang
Terima kasih, Tuan Speaker. Sebentar tadi Yang Berhormat Menteri ada sebut tentang buruh paksa.
Tapi, saya membawa kepada isu yang berdekatan iaitu di negara kita sekarang terdapat lebih 215,000 pelarian politik Rohingya.
Saya mencadangkan Kementerian Sumber Manusia cuba kemukakan kepada Kabinet, kalau boleh, supaya pelarian Rohingya ini dibenarkan bekerja, baik lelaki atau perempuan, supaya mereka dapat pendapatan. Jadi, anak-anak muda mereka tak perlulah terlibat setengahnya ke dalam jenayah. Kita contohilah Jerman.
Masa Perang di Syria dulu, pelarian politik daripada Syria dibenarkan bekerja di Jerman. Itu bersifat kemanusiaan juga.
Terima kasih.
Tuan Khairul Firdaus bin Akbar Khan
Terima kasih, Yang Berhormat Pasir Gudang. Satu pendapat yang boleh membawa kebaikan ataupun perlu ada kajian secara menyeluruh, dan saya percaya perkara ini akan dibincangkan bersama dengan Kementerian Sumber Manusia dan juga Kementerian Dalam Negeri.
Sebarang perkembangan, kita akan maklumkan dari masa ke semasa. Terima kasih di atas satu cadangan yang mempunyai asas untuk kita melakukan kajian.
Tuan Khairul Firdaus bin Akbar Khan
JTKSM sentiasa memastikan hak pekerja berkaitan pembayaran upah dan manfaat pekerjaan dipelihara, selaras dengan peruntukan undang-undang buruh yang berkuat kuasa. Sebarang dasar berkaitan yuran pengambilan pekerja memerlukan pertimbangan menyeluruh di peringkat kerajaan dengan mengambil kira implikasi perundangan, operasi dan kewangan kepada semua pihak yang terlibat.
Akta Kerja 1955 [Akta 265] mewajibkan kontrak perkhidmatan secara bertulis diberikan kepada pekerja yang digajikan. Walau bagaimanapun, pada masa ini tiada kewajipan bagi majikan untuk menyediakan kontrak pekerjaan bertulis dalam bahasa ibunda pekerja tersebut sebelum mereka berlepas ke Malaysia. Pelaksanaan perkara ini merupakan isu dasar dan memerlukan pertimbangan secara teliti, mengambil kira kepentingan pelbagai pihak.
Berhubung isu penahanan dokumen seperti pasport, penguatkuasaan terhadap akta-akta yang berkaitan adalah di bawah bidang kuasa Kementerian Dalam Negeri melalui Jabatan Imigresen. Walau bagaimanapun, JTKSM melalui operasi penguatkuasaan bersepadu yang dijalankan bersama agensi-agensi penguatkuasaan berkaitan sentiasa memastikan pematuhan ke atas perundangan yang berkuat kuasa.
Pada masa ini, tiada mekanisme yang membenarkan pekerja migran menukar majikan selepas memfailkan tuntutan buruh atau laporan salah laku atau atas apa-apa alasan sekalipun. Walau bagaimanapun, polisi semasa membenarkan mekanisme pertukaran majikan (PTM), di mana majikan tidak mampu meneruskan penggajian pekerja asing boleh menukarkan permit kerja kepada majikan baharu yang dikenal pasti oleh majikan asal.
Proses ini memerlukan persetujuan bersama di antara majikan asal dan majikan baharu atas dasar sukarela (voluntary) sebelum tindakan pertukaran permit pekerja asing dilaksanakan. JTKSM turut memberi penekanan kepada prinsip pengambilan pekerja yang beretika (ethical recruitment) selaras dengan amalan antarabangsa, termasuk usaha mengurangkan beban kewangan yang ditanggung oleh pekerja migran akibat fi pengambilan yang tidak munasabah.
Dalam perkara ini, JTKSM sentiasa memantau dan mengawal selia operasi agensi pekerjaan swasta yang dilesenkan di bawah Akta Agensi Pekerjaan Swasta 1951 [Akta 246], termasuk agensi yang terlibat dalam urusan pengambilan dan penempatan pekerja asing. Di bawah Akta 246, agensi pekerjaan swasta hanya dibenarkan mengenakan fi atau caj sebagaimana - seperti mana yang telah ditetapkan di bawah akta tersebut.
Sebarang kutipan fi yang tidak dibenarkan atau melebihi kadar yang ditetapkan merupakan suatu kesalahan dan boleh dikenakan tindakan penguatkuasaan, termasuk kompaun, pendakwaan, penggantungan atau pembatalan lesen.
Tuan Yang di-Pertua, saya lihat di atas skrin, masa saya sudah habis. Kalau mengikut teks ini Tuan Yang di-Pertua, saya perlukan 10 minit. Kalau Tuan Yang di- Pertua tidak bersetuju, saya boleh memberikan jawapan secara bertulis. Terpulang kepada Tuan Yang di-Pertua.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Yang Berhormat, masa kita hanya tinggal 25 minit. Dengan itu saya arahkan Yang Berhormat menjawab secara bertulis.
Datuk Khairul Firdaus bin Akbar Khan
Terima kasih di atas jawapan yang telah diberikan oleh Tuan Yang di-Pertua. Oleh yang sedemikian rupa, saya akan memberikan jawapan secara bertulis kepada mana-mana Ahli Yang Berhormat yang bertanyakan ataupun ada membahaskan isu Laporan SUHAKAM sebentar tadi.
Sekian, terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Terima kasih Yang Berhormat. Berikut, saya mempersilakan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama untuk menjawab.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) - Puan Marhamah binti Rosli
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. *Bismillahirahmanirahim.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.* Pertamanya, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Tumpat kerana membangkitkan isu hak kanak-kanak mendapat bimbingan solat dan pendidikan fardu ain dan Yang Berhormat Kuala Krai untuk isu hak asasi warga emas, pendekatan aging with dignity.
Saya akan menjawab isu yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Tumpat terlebih dahulu. Bismillah. Kerajaan bersetuju bahawa setiap kanak-kanak beragama Islam berhak memperoleh pendidikan agama yang sempurna sebagai asas pembentukan sahsiah, akhlak dan jati diri. Hak ini bukan sekadar berkaitan akses kepada pendidikan, bahkan melibatkan hak untuk dibimbing menjadi insan yang beriman, berakhlak mulia dan bertanggungjawab kepada agama, keluarga serta negara.
Bagi memastikan hak tersebut dapat direalisasikan, kerajaan melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama pihak berkuasa agama negeri telah melaksanakan Program Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di seluruh negara. Program ini memberikan penekanan kepada penguasaan ilmu fardu ain secara menyeluruh, termasuk amali solat, bacaan Al-Quran, akidah, ibadah, akhlak, jawi dan bahasa Arab sebagai pelengkap kepada pendidikan Islam yang dipelajari di sekolah kebangsaan.
Pada masa yang sama, JAKIM sentiasa memperkukuh kerjasama dengan Kementerian Pendidikan (KPM) bagi memastikan pembangunan pendidikan Islam berlaku secara bersepadu dan tiada murid yang tercicir daripada menguasai asas- asas ibadah. Namun demikian, kerajaan juga berpandangan bahawa pembentukan amalan solat dan penghayatan agama ini tidak boleh digalas oleh institusi pendidikan semata-mata. Institusi keluarga merupakan madrasah pertama bagi setiap anak.
Justeru, kejayaan membentuk generasi yang mendirikan solat dan menghayati Al-Quran ini memerlukan komitmen berterusan daripada ibu bapa, di samping sokongan sekolah, guru, institusi agama dan masyarakat secara keseluruhannya.
Bagi memastikan penguasaan murid dapat dinilai secara lebih menyeluruh, pentaksiran KAFA hari ini tidak lagi tertumpu kepada peperiksaan semata-mata.
Sebaliknya, ia menggunakan pelbagai instrumen seperti pemerhatian, portfolio, penyoalan, tugasan, pentaksiran kendiri dan conferencing bagi menilai aspek pengetahuan, kefahaman, penghayatan serta amalan murid-murid.
Melalui pendekatan ini, guru dapat mengenal pasti lebih awal murid yang memerlukan bimbingan tambahan, sekali gus membolehkan intervensi dilaksanakan bersama ibu bapa dan pihak sekolah supaya tiada kanak-kanak tercicir daripada memperoleh hak mereka menguasai bacaan Al-Quran, memahami tuntutan ibadah serta mengamalkan solat dengan cara yang baik.
Dalam konteks hak asasi, kerajaan melihat bahawa hak kanak-kanak bukan sekadar hak untuk menerima pendidikan tetapi juga hak untuk dibimbing menjadi insan yang mempunyai pegangan agama, nilai moral dan akhlak yang baik.
Pendidikan agama yang berkualiti merupakan satu bentuk pemerkasaan hak kanak- kanak yang akan menjadi benteng kepada pelbagai gejala sosial serta menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat pada masa hadapan.
Justeru, kerajaan akan terus memperkukuh kerjasama strategik antara JAKIM, Kementerian Pendidikan (KPM), pihak berkuasa agama negeri, guru-guru KAFA, ibu bapa dan masyarakat bagi memastikan hasrat melahirkan generasi Muslim yang celik al-Quran, mendirikan solat, berakhlak mulia serta menjadikan Al- Quran dan As-Sunnah sebagai panduan hidup dapat direalisasikan.
Saya seterusnya Yang di-Pertua, akan menjawab isu yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Kuala Krai. Kerajaan komited memastikan warga emas menikmati kehidupan yang sihat, sejahtera dan bermaruah. Selain aspek kesihatan, keselamatan, kebajikan, kerajaan turut memberi penekanan kepada pengukuhan aspek kerohanian sebagai sebahagian daripada kesejahteraan menyeluruh warga emas.
Kami menyambut baik komitmen yang telah dinyatakan oleh Yang Berhormat Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sebentar tadi.
Dan JAKIM akan terus memperkukuh kerjasama dengan KPWKM melalui pelaksanaan program pengisian rohani secara lebih bersistematik, termasuk kelas Al-Quran, bimbingan ibadah, khidmat nasihat, tazkirah serta pelbagai aktiviti yang bersesuaian, di samping menyokong pelaksanaan pemeriksaan kesihatan secara berkala dan aktiviti kesejahteraan bagi warga emas.
Dalam konteks peranan JAKIM, pelbagai pengisian kerohanian turut disediakan dan boleh dimanfaatkan oleh pusat jagaan warga emas, institusi kebajikan serta pertubuhan bukan kerajaan iaitu NGO yang memerlukan. JAKIM juga sentiasa bersedia memberikan khidmat nasihat dan sokongan kepakaran bagi memperkukuh pelaksanaan program pembangunan rohani di institusi-institusi tersebut.
Sedikit lagi Yang di-Pertua. Terima kasih. Berhubung cadangan mengenai standard nasional bagi pengurusan rumah warga emas serta penyediaan skim geran kepada NGO. Perkara tersebut akan terus diteliti bersama kementerian dan agensi yang berkaitan mengikut bidang tugas masing-masing.
Kerajaan percaya bahawa usaha memartabatkan hak asasi warga emas memerlukan kerjasama erat antara kerajaan, institusi keluarga, institusi agama, NGO dan juga masyarakat. Melalui pendekatan yang menyeluruh ini, insya-Allah warga emas akan terus menikmati kehidupan yang lebih berkualiti, sejahtera dan bermaruah, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI. Itu saja Yang di-Pertua.
Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato' Dr. Ramli bin Dato' Mohd Nor
Terima kasih Yang Berhormat Menteri. Berikut, Menteri yang terakhir untuk membentangkan jawapan. Dipersilakan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Undang- undang dan Reformasi Institusi. Silakan Menteri.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) - Tuan M. Kulasegaran a/l V. Murugeson
Terima kasih Dato’ Yang di-Pertua.
Burung Merpati terbang sekawan; Hinggap sebentar dipohon sena, Hak asasi terus diperjuangkan; Demi Malaysia yang adil dan bermakna.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato' Dr. Ramli bin Dato' Mohd Nor
Pandai Yang Berhormat Timbalan Menteri ya.
Tuan M. Kulasegaran a/l V. Murugeson
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Terlebih dahulu saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada beberapa Ahli Yang Berhormat yang telah mengambil bahagian dalam membahaskan Laporan Tahunan Penyata Kewangan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) tahun 2024. Saya amat menghargai setiap pandangan.
Dato’ Yang di-Pertua, Laporan Tahunan SUHAKAM merupakan satu mekanisme penting yang bukan sahaja merekodkan perkembangan hak asasi di Malaysia, malah turut mengemukakan syor-syor yang boleh dipertimbangkan oleh kerajaan dalam usaha memperkukuh takbir urus, meningkatkan akses kepada keadilan dan memperbaiki dasar serta amalan sedia ada. Kerajaan menghargai peranan SUHAKAM sebagai institusi hak asasi manusia kebangsaan yang bebas dalam melaksanakan fungsi pemantauan, penyiasatan pendidikan, advokasi dan memberi pemberian nasihat kepada kerajaan selaras dengan peruntukan undang- undang.
Dalam hubungan ini, kerajaan kekal komited untuk terus memperkukuh kerjasama dengan SUHAKAM dan semua pihak berkepentingan dalam usaha memastikan hak asasi manusia terus dihormati dan dipelihara selaras dengan Perlembagaan Persekutuan, kedaulatan undang-undang serta Aspirasi Malaysia MADANI.
Yang Berhormat Jelutong dan Yang Berhormat Kota Melaka dan beberapa Ahli yang lain telah menggesa supaya rakaman CCTV insiden di Penjara Taiping ditayangkan kepada Ahli-ahli Parlimen di Dewan Rakyat.
Dato’ Yang di-Pertua, kerajaan mengambil maklum cadangan Yang Berhormat supaya rakaman CCTV insiden di Penjara Taiping ditayangkan kepada Ahli-ahli yang berhormat di Dewan Rakyat. Pada prinsipnya, saya berpandangan bahawa Ahli-ahli Parlimen wajar diberikan akses kepada maklumat yang bersesuaian untuk membolehkan mereka menjalankan fungsi semak dan imbang dengan berkesan.
Walau bagaimanapun, cadangan ini perlu diteliti dengan lebih lanjut termasuk dari sudut implikasi undang-undang seperti isu sub judice, kes yang sedang berjalan serta apa-apa pertimbangan lain yang berkaitan. Sehubungan itu, perkara ini akan dibincangkan secara lanjut dan pihak-pihak berkaitan dan satu keputusan muktamad akan dipertimbangkan.
Tuan Khoo Poay Tiong - Kota Melaka
Timbalan Menteri, Timbalan Speaker.
Tuan M. Kulasegaran a/l V. Murugeson
Ya.
Tuan Khoo Poay Tiong - Kota Melaka
Terima kasih Timbalan Menteri, terima kasih atas jawapan yang diberikan. Tetapi saya nak memberitahu kepada Timbalan Menteri bahawa Jawatankuasa Pilihan Khas Hak Asasi dan juga Jawatankuasa Pilihan Khas Keselamatan, kami anggota daripada kedua-dua jawatankuasa ini telah melihat video tersebut dan kalau kita lihat video tersebut, kita akan tersalah faham. Ingat kita tengah tengok itu ialah wayang Hong Kong. Cheung Ying, Fong Ying dengan izinnya. Cerita tentang apa yang berlaku dalam penjara.
Mula-mula kita ingat itu ialah tayangan wayang Hong Kong. Tetapi itu adalah sebenar apa yang berlaku dalam Penjara Taiping. Di mana pada awalnya, pegawai di Penjara Taiping kata itu ada rusuhan berlaku. Tetapi apabila kita lihat video yang sebenar, tiada rusuhan. Sebab itu saya berpendapat bahawa 222 Ahli Parlimen dalam Dewan ini harus diberi ruang untuk melihat apakah sebenarnya yang telah berlaku supaya kita boleh menjalankan satu institusi reform bagi penjara Malaysia ini. Terima kasih.
Tuan M. Kulasegaran a/l V. Murugeson
Terima kasih Yang Berhormat Kota Melaka. Seperti yang dikata, the saying goes, pictures speak a thousand words. Saya Yang Berhormat, setuju pada pandangan Yang Berhormat bahawa ini perlu diberi keutamaan dan ini bukan satu Hong Kong movie, tetapi movie yang telah berlaku di negara kita, tanah air kita. Dan tindakan yang tegas perlu diambil dalam perkara ini.
Dan kita sebagai wakil kepada rakyat di negara ini seharusnya diberi peluang.
Memandangkan jawatankuasa-jawatankuasa pun telah melihat video tersebut, there is no more secret in the secret dalam perkara ini. Maka saya juga sendiri telah menonton video tersebut. Saya hairan kejadian tersebut. Dan saya harap satu keputusan mungkin oleh Kabinet dibuat dengan seberapa segera yang boleh, supaya ia boleh ditayangkan kalau boleh minggu hadapan. Supaya kita dapat tahu apa yang telah berlaku. Dan kita juga perlu berterima kasih kepada SUHAKAM kerana dalam mereka menyegerakan penyiasatan dan itulah sebab video ini terkeluar.
Dan juga hasil dari itu, tindakan telah diambil terhadap beberapa orang yang terlibat dalam perkara tersebut. Saya harap satu win-win formula akan datang dalam perkara ini dengan seberapa segera yang boleh.
Tuan Khoo Poay Tiong - Kota Melaka
Timbalan Menteri, sedikit lagi.
Dalam bab ini memang kita ingin beri kepujian kepada SUHAKAM dan dalam laporan mereka dan juga penerangan mereka, kita dapati SUHAKAM juga menghadapi pelbagai cabaran dalam siasatan mereka. Jadi saya minta apakah pandangan Timbalan Menteri dan juga adakah kementerian bersetuju supaya kita pinda Akta SUHAKAM yang sedia ada, supaya notis— tanpa notis boleh diberi kepada kuasa tersebut kepada mereka supaya mereka boleh buat lawatan tanpa notis.
Daripada sekarang perlu beri notis, nak tunggu kelulusan baru mereka boleh masuk ke tempat kejadian. Maka itu mungkin lari daripada tujuan sebenar kenapa mereka nak pergi buat siasatan di tempat tersebut.
Tuan M. Kulasegaran a/l V. Murugeson
Terima kasih Yang Berhormat.
Yang Berhormat— Tuan Speaker, sebenarnya perkara ini dibangkitkan juga oleh Yang Berhormat Kota Melaka, saya ada jawapan, tapi saya sedia untuk memberi jawapan ini secara lisan sekarang.
Yang Berhormat, sebenarnya perkara itu sedang diteliti iaitu membenarkan SUHAKAM, komisioner-komisioner SUHAKAM untuk pergi ke mana-mana lokap, tempat-tempat di mana beberapa orang-orang ditahan serta-merta bila kejadian itu diketahui oleh SUHAKAM.
Perkara ini bukan perkara baharu sebenarnya Yang Berhormat. Sebenarnya ini diketahui oleh— dibuat di beberapa negara. Baru-baru ini saya, Dato’ Speaker, tahun dulu saya telah pergi ke Manila untuk melawat untuk perkara yang lain, tidak ada kena-mengena dengan perkara SUHAKAM. Tetapi ada masa sedikit dan saya terus pergi ke— saya memohon untuk mengada diskusi dengan Human Rights Commission of Philippines.
Saya hairan, mereka ada kuasa, tak perlu mendapat kebenaran atau apa- apa. Mereka ada kebenaran untuk pergi ke tempat di mana orang-orang yang ditahan dan membuat penyiasatan. Kalau negara-negara Philippines dan negara- negara yang lain diberi kuasa kepada Human Rights Commission, saya hairan bahawa Malaysia, kita belum lagi, tapi Yang Berhormat Kota Melaka dan Yang Berhormat ramai di antara kita semasa di pembangkang pun selalu memohon agar ia dilaksanakan. Dan perkara ini sedang dibincangkan, saya harap satu keputusan utama akan dibuat dalam tak berapa lama dari sekarang.
Saya ingin menjawab beberapa perkara yang telah dibangkitkan oleh Kota Melaka, alamak Yang Berhormat Arau, Yang Berhormat Parit dan Ahli-ahli Yang Berhormat yang lain berkaitan penyiasatan SUHAKAM sebagai salah satu pindaan kepada pengurusan aduan. Ini perkara yang saya telah jawab.
Bagi persoalan yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat berkaitan status perlaksanaan syor-syor SUHAKAM termasuk statistik pelaksanaannya, sektor fakta yang mempengaruhi perlaksanaan syor-syor tersebut. Kerajaan tidak menyelenggara statistik secara berpusat mengenai peratusan perlaksanaan syor- syor SUHAKAM, memandangkan perlaksanaan syor-syor tersebut melibatkan pelbagai kementerian dan agensi mengikut bidang kuasa masing-masing.
Walau bagaimanapun, Bahagian Aduan dan Pemantauan di SUHAKAM memantau perlaksanaan syor dan cadangan melalui lawatan susulan ke tempat tahanan terbabit selepas enam bulan hingga satu tahun.
Tuan M. Kulasegaran a/l V. Murugeson
Berkenaan isu-isu yang berbangkit yang lain, bahagian tersebut akan menulis kepada agensi berkaitan bagi mendapatkan status pelaksanaan syor-syor yang telah dikemukakan oleh SUHAKAM. Bagi menjawab soalan berkaitan akses SUHAKAM ke tempat tahanan, saya telah memberi jawapan tersebut. Berkaitan soalan, berkaitan pemeriksaan mandat dan fungsi SUHAKAM bagi memberi kuasa tambahan bagi menjalankan inkuiri awam dan memainkan peranan tertentu dalam membantu mahkamah dalam kes-kes yang melibatkan isu hak asasi manusia.
Kerajaan mengambil maklum cadangan tersebut. Sebarang cadangan untuk memperluas kuasa dan fungsi SUHAKAM akan diteliti secara menyeluruh dengan mengambil kira Perlembagaan Persekutuan, Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999, Prinsip-prinsip Paris (Paris Principles), serta bidang kuasa agensi dan institusi berkaitan.
Kerajaan berkomited, untuk memastikan sebarang penambahbaikan terhadap mandat SUHAKAM dapat memperkukuh peranannya sebagai institusi hak asasi manusia negara, tanpa menjejaskan fungsi dan bidang kuasa institusi lain yang diperuntukkan di bawah undang-undang.
Persoalan yang dibangkitkan oleh ramai di antara Yang Berhormat, iaitu berkaitan keperluan menambah peruntukan memperkukuh kapasiti kewangan, serta memperkasakan autonomi SUHAKAM, termasuk Pejabat Pesuruhjaya Kanak- kanak, Office of the Children's Commissioner (OCC) bagi memastikan mandat institusi tersebut dapat dilaksanakan dengan berkesan. Kerajaan mengiktiraf peranan penting SUHAKAM sebagai institusi dan hak asasi manusia negara yang bebas.
Sehubungan itu, keperluan peruntukan dan kapasiti kewangan SUHAKAM akan terus dinilai dari masa ke masa berdasarkan keperluan operasi skop fungsi keutamaan kerajaan serta kedudukan kewangan negara selaras dengan peranan sebagai sebuah badan berkanun yang ditubuhkan di bawah Akta 597. Walau bagaimanapun, pertambahan skop serta bilangan anggota SUHAKAM turut memerlukan pertambahan sumber kewangan bagi membolehkan SUHAKAM melaksanakan aktiviti-aktiviti hak asasi manusia secara berkesan tanpa sebarang sekatan.
Saya juga ingin menjawab soalan Yang Berhormat Tuaran, Yang Berhormat Puncak Borneo.
Dato’ Seri Dr. Shahidan bin Kassim - Arau
Yang Berhormat, penjelasan Yang Berhormat. Pasal peruntukan tadi, saya timbulkan tadi, Yang Berhormat bagi jawapan umum, saya minta khusus tadi. Sekarang ini peruntukan yang dibagi, saya tak dapat maklumat penuh. Saya dapat maklumat mungkin antara RM13 juta ke RM15 juta dan Ahli Suruhanjaya, maksimum kalau tak silap 20 orang, minimum tujuh lebih kurang macam itu.
Tetapi peruntukan tersebut tak ada— hanya cover untuk Kuching, KK dan juga Kuala Lumpur. Kita cadangkan supaya ditubuhkan cawangan lagi beberapa negeri, negeri yang besar contohnya macam Johor, Selangor ataupun Pantai Timur, satu belah Pahang ataupun Kelantan, yang terbaiknya Kelantan atau Terengganulah.
Okey, apakah dengan pertambahan pejabat-pejabat negeri ini akan menambahkan peruntukan? Saya minta spesifik, saya cadangkan RM20 juta, supaya nampak bahawa kita serius, dunia sekarang nampak kita serius tentang hak asasi manusia. Tapi kita lupa bahawa kita kena tambah peruntukan, kalau tidak Ahli Suruhanjaya juga mendapat imbuhan yang agak rendah zaman dulu, tapi sekarang dah berubah kita tak buat apa-apa perubahan.
Saya cadangkan kita bagi peruntukan RM20 juta dengan imbuhan tambahan kepada Ahli-ahli Suruhanjaya. Ini bukan satu benda yang mudah, mereka boleh tolong kita, untuk membuka perkara-perkara yang kita tak tahu setengahnya, ataupun kita tahu kita pun tumpang diam. Contohnya macam kes Penjara Taiping, yang ini satu yang cukup menarik yang harus kita lihat bersama. Tetapi mereka ini ada kekangan dari segi perbelanjaan. Saya cadangkan supaya khusus disebut RM20 juta, bukan buat jawapan kita akan menambah peruntukan.
Itu adalah jawapan biasa Yang Berhormat. Dulu masa saya bagi peruntukan Ahli Parlimen, Yang Berhormat duduk dekat sini. Okey Yang Berhormat kita bagi peruntukan Ahli Parlimen, Ahli Parlimen semua dapat peruntukan yang baharu.
Timbalan Speaker dapat gaji yang tinggi. Jadi Yang Berhormat masa itu Ahli Parlimen, saya Menteri, semua setuju.
Saya sebut khusus berapa Ahli Parlimen dapat. Ini kita tak boleh cakap kata kita akan nambah peruntukan mengikut kemampuan kerajaan. Kita nak— masa susah kita perlukan SUHAKAM, masa senang SUHAKAM mungkin boleh kurangkan kerjanya tapi masa kita susah, seluruh dunia sekarang ini pelanggaran hak asasi berlaku, saya cadangkan peruntukan khusus dibagi RM20 juta. Thank you.
Tuan M. Kulasegaran a/l V. Murugeson
Saya setuju pada pandangan Yang Berhormat. Tapi, ingin saya bagi tahu dua perkara. Satu, saya terima kasih kepada Yang Berhormat Arau lah sebenarnya, lebih kurang 10-15 tahun dulu Yang Berhormat, beliau adalah satu di antara Menteri yang berbeza dari lain, iaitu dia datang dia— saya lagi ingat lebih kurang pukul 8 malam Yang Berhormat, perkara itu dia— dan pada awalnya ada tentangan dari pembangkang tetapi beliau mengatakan ada hak, ada asas yang tertentu kerana kita— elaun kita kurang dari ADUN Sarawak. Jadi, ini tidak masuk akal dan dia, Yang Berhormat lah yang betul- betul niat baik. Saya berterima kasihlah Yang Berhormat, hari ini kita semua enjoy kerana Yang Berhormat lah.
[Tepuk] Yang Berhormat sekejap, sekejap saya nak jawab. Yang kedua, Yang Berhormat mengenai RM20 juta itu sebenarnya perbincangan telah, sedang dijalankan dengan Kementerian Kewangan supaya meningkatkan, ada tekanan- tekanan yang tertentu di mana SUHAKAM perlukan wang yang lebih untuk menjalankan tugas-tugas mereka. Saya percaya tak lama lagi perkara itu dapat diselesaikan dan juga di bajet yang akan datang, perkara ini akan diteliti dengan dalamnya. Okey.
Dato’ Seri Dr. Shahidan bin Kassim - Arau
Yang Berhormat, apakah Yang Berhormat bersetuju, supaya cawangan-cawangan negeri itu ditambah? Sekarang ini cuma Kuala Lumpur, KK dan juga Kuching. Kita tambah cawangan negeri.
Tuan M. Kulasegaran a/l V. Murugeson
Setuju, setuju. Keperluan memperkukuh kapasiti operasi SUHAKAM termasuk di Sabah dan Sarawak akan terus dinilai dari semasa ke semasa berdasarkan keperluan perkhidmatan keutamaan kerajaan serta kedudukan kewangan negara bagi memastikan SUHAKAM dapat melaksanakan mandatnya yang berkesan di seluruh negara.
Sebanyak 58 aduan telah diterima oleh pejabat SUHAKAM di Sabah sepanjang tahun 2024. Sehingga kini 21 aduan telah diselesaikan, manakala 37 aduan masih dalam tindakan dan siasatan.
Bagi isu kewarganegaraan, kerajaan mengambil maklum bahawa perkara ini melibatkan berbagai aspek perundangan, pentadbiran dan pengesahan dokumen.
Justeru memerlukan kerjasama erat antara kementerian, agensi berkaitan dan SUHAKAM Sabah. Kerajaan akan terus memperkukuh kerjasama dengan SUHAKAM Sabah, bagi memastikan setiap aduan diberi perhatian sewajarnya termasuk melalui tindakan susulan, perkongsian maklumat dan libat urus bersama pihak-pihak berkepentingan.
SUHAKAM tidak mempunyai data nasional yang menyeluruh berhubung jumlah sebenar kanak-kanak yang dilahirkan di Malaysia, tetapi masih berdepan masalah dokumentasi. Data rasmi sedemikian sewajarnya berada di bawah agensi kerajaan berkaitan seperti JPN, KDN, KPM, KKM dan agensi kebajikan. SUHAKAM hanya mempunyai data berdasarkan aduan yang diterima serta dapatan daripada pemantauan dan kajian sebagai...
Tuan Hassan bin Abdul Karim - Pasir Gudang
YB Menteri, boleh saya mencelah sedikit?
Tuan M. Kulasegaran a/l V. Murugeson
Ya.
Tuan Hassan bin Abdul Karim - Pasir Gudang
Dengan izin Tuan Speaker.
Tuan M. Kulasegaran a/l V. Murugeson
Sekejap Yang Berhormat, boleh saya jawab ini. Give me two, three lines. Contoh dari 20 ke 25, OCC merekodkan 85 aduan berkaitan hak kepada dokumen kewarganegaraan. Namun jumlah ini tidak mencerminkan skala sebenar isu di peringkat nasional. Oleh itu SUHAKAM berpandangan kerajaan perlu memperkukuh sistem data bersepadu merentas agensi supaya kanak-kanak yang berkesan dapat dikenal pasti dan diberi akses kepada pendidikan serta perkhidmatan akses tanpa diskriminasi. Yang Berhormat.
Tuan Hassan bin Abdul Karim - Pasir Gudang
Terima kasih Dato’ Speaker. YB Menteri sebentar tadi bercakap tentang aduan kepada SUHAKAM.
Saya nak bawa satu kes— kes aduan keluarga Teoh Beng Hock yang mati di pejabat SPRM. Sudah berbelas tahun tak ada kesudahannya, tidak ada seorang pun yang didakwa ke mahkamah. Kes ini dari segi civil litigation family telah bawa ke mahkamah, sampai ke Mahkamah Rayuan, tapi tidak ada follow-up dari segi tindakan pendakwaan jenayah kepada pihak yang tertentu sehinggakan keluarga ini terpaksa pergi ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Tuan Hassan bin Abdul Karim - Pasir Gudang
Jadi saya rasa ini ada kegagalan di mana-mana. So, saya harap Yang Berhormat Menteri bawalah perkara ini kepada Kabinet.
Tuan M.Kulasegaran a/l V.Murugeson
Yang Berhormat, terima kasih Yang Berhormat. Perkara ini baru dibangkitkan. Saya berjanji untuk memberi jawapan bertulis mengenai perkara tersebut supaya saya dapat dari agensi-agensi yang berkenaan.
Tuan Lee Chean Chung - Petaling Jaya
Tuan Yang di-Pertua, boleh sedikit.
Tuan M.Kulasegaran a/l V.Murugeson
Bukit Gelugor. Ya?
Tuan Ramkarpal Singh a/l Karpal Singh - Bukit Gelugor
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Saya ingin membuat disclose di sini bahawa saya merupakan seorang peguam bagi keluarga Teoh Beng Hock tersebut yang kini sedang— telah pun memfailkan juga satu permohonan baru untuk judicial review di mahkamah tinggi yang kini dalam proses didengar dan sebagainya.
Tapi saya ingin bertanya kepada Yang Berhormat Timbalan Menteri, berkenaan dengan bukannya aspek sivil tetapi aspek jenayah di dalam kes ini. Di mana telah pun kami mendengar daripada peguam negara tahun lepas bahawa kes ini mereka tidak mendapat— tidak menyiasat lebih disebabkan tiada – didapati tiada bukti-bukti seterusnya. No further action is to be taken. Dalam keadaan sebegini, seperti yang telah pun dibangkitkan oleh Pasir Gudang tadi adalah jelas bahawa mendiang Teoh Beng Hock tersebut memang telah pun meninggal di tempat pejabat HQ MACC di Shah Alam tersebut. Sudah dalam tahun 2009.
Memandangkan keadaan tersebut, bukankah ia nya jelas bahawa memang terdapat atau kemungkinan besar terdapatnya unsur jenayah di dalam kes ini yang membolehkan satu pertuduhan diambil khususnya pertuduhan di bawah jenayah homicide yang boleh melibatkan jenayah bunuh juga.
Bukankah ini merupakan satu kes yang sesuai untuk disiasat di bawah aspek homicide dan juga pegawai-pegawai yang berkenaan sekiranya ada di bawah untuk dituduh dalam jenayah tersebut.
Tuan Lee Chean Chung - Petaling Jaya
Sedikit pembetulan, tadi Timbalan Menteri kata perkara ini baru sampai dan dari Pasir Gudang. Saya cuma nak tambah dalam perbahasan saya semalam, sebenarnya saya juga sebut tentang kes isu Teoh Beng Hock. Tambahan ada juga kenyataan media, kenyataan yang dibuat oleh SUHAKAM pada 18 Jun tahun lepas SUHAKAM mengeluarkan satu kenyataan yang katakan perlu ada satu dengan izin, “we honestly call upon the AGC and PDRM to reveal their NFA decision and to take the necessary criminal proceedings against the officers responsible for Teoh Beng Hock death:” dengan izin. Jadi inilah adalah kenyataan dari SUHAKAM. Soalan saya adalah, apakah follow-up dari pihak Menteri tentang isu ini.
Tuan M.Kulasegaran a/l V.Murugeson
Yang Berhormat. Yang Berhormat Bukit Gelugor dan Yang Berhormat Petaling Jaya Utara. Perkara ini bukan perkara baru, kita semua tahu dan ada macam Yang Berhormat Bukit Gelugor kata, ada unsur-unsur jenayah.
Tapi nampaknya tidak ada satu keputusan muktamad yang dibuat oleh AGC atau MACC dalam perkara ini. Dan yang kita boleh bagi tahu setakat ini dari SUHAKAM adalah cadangan-cadangan yang telah Yang Berhormat PJ Utara baca sebelum ini. Dan perkara ini akan di follow-up oleh SUHAKAM. Itu saja yang boleh kita buat. Kita tak boleh paksa.
Tapi bila Yang Berhormat menghujah mengenai kes ini, saya baru ingat bahawa mungkin proses fiat boleh di— thought about. Some process maybe to compel the agency to prosecute. You take it upon yourself.
Tuan Ramkarpal Singh a/l Karpal Singh - Bukit Gelugor
Ya, itu saya percaya. Untuk makluman Timbalan Menteri, saya difahamkan bahawa pejabat AGC telah pun membuat keputusan NFA terhadap kes ini tahun lepas. Itu adalah satu keputusan yang menghairankan. Memandangkan seperti yang saya katakan tadi, memang terdapatnya unsur-unsur jenayah.
Berkenaan dengan sama ada terdapat boleh dapat fiat ataupun private prosecution dan sebagainya ini juga saya percaya memerlukan izin daripada peguam negara ataupun the consent of the attorney general. So, dari segi semua kekangan tersebut isu yang sering kali timbul untuk kes Teoh Beng Hock ini, and saya ingat its justify adalah kenapa kah?
Kenapa kah pendakwaan tidak diambil memandangkan memang terdapat unsur seperti yang telah pun dikatakan oleh mahkamah rayuan. Juga di dalam satu kes sivil mahkamah rayuan juga, telah pun mendapati bahawa ada kemungkinan terdapatnya unsur jenayah? Jadi, kenapakah kes ini boleh ditutup dengan sebegitu senang tanpa langkah selanjutnya? Terima kasih Tuan Speaker.
Tuan M.Kulasegaran a/l V.Murugeson
Yang Berhormat saya berterima kasih kepada Yang Berhormat Pasir Gudang, Yang Berhormat Bukit Gelugor dan Yang Berhormat PJ utara.
Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam - Tuan Syed Ibrahim bin Syed Noh
Petaling Jaya [Berucap tanpa menggunakan pembesar suara] .
Tuan M.Kulasegaran a/l V.Murugeson
Petang Jaya. Petaling Jaya. Saya ingin mengesahkan bahawa ya betul agensi telah mengatakan NFA pada tahun dulu, tapi SUHAKAM telah memohon agar penyiasatan dibuat dan tuduhan dibuat. Ini satu rekomendasi oleh SUHAKAM dan kerana SUHAKAM tidak menginvestigasi perkara tersebut.
Walaupun sedemikian Yang Berhormat, saya memberi aku janji bahawa saya akan mendapat jawapan dari mereka dan saya akan memberi jawapan kepada Yang Berhormat kerana Yang Berhormat Tuan Speaker, saya pun kenal Tuan Beng Hock sendiri. Dan rasa ini adalah satu perkara yang patut mendapat satu kepastian muktamad. Kita tak boleh elak perkara ini dan ini hanya memalukan negara kita.
Seperti Yang Berhormat Pasir Gudang katakan bahawa perkara itu telah dibawa ke Human Right Council. I saw the video too where the sisters book the United Nations Council on human rights. Saya berjanji saya akan dapatkan jawapan, mungkin selepas itu kita boleh tengok apa yang kita boleh buat. Dato’ Yang di-Pertua.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato' Dr. Ramli bin Dato' Mohd Nor
Yang Berhormat, i give you next five minutes. Please wrap up dan juga yang jawapan- jawapan yang tidak dijawab, jawab secara bertulis kerana saya punya power hanya 15 minit to extend. Alright.
Tuan M.Kulasegaran a/l V.Murugeson
Terima kasih. Kalau sedemikian Yang Berhormat Speaker saya akan hanya memberi jawapan kepada YB-YB yang ada di Dewan ini. Yang Berhormat Putatan tidak ada di sini saya rasa. Yang Berhormat Kota Melaka saya sudah jawab. Yang Berhormat Bagan Serai, Yang Berhormat Sik dan pun tak ada. Yang Berhormat Bakri tak ada. Mereka semua pergi ke kempen di Johor.
Tuan Khoo Poay Tiong - Kota Melaka
Timbalan Menteri saya Kota Melaka.
Semalam saya tanya tentang kedudukan Akta Freedom of Information. Apakah kedudukan terkini dalam perbahasan saya semalam?
Tuan M.Kulasegaran a/l V.Murugeson
Oh ya. Mengenai akta penggubalan, Akta Kebebasan Maklumat ya. Kerajaan kekal komited untuk memperkenalkan Rang Undang-undang Kebebasan Maklumat sebagai sebahagian daripada agenda reformasi institusi.
Kerajaan melalui bahagian hal ehwal undang-undang telah memulakan sesi libat holistik mulai tahun 2019 di mana lebih kurang 2,500 orang telah terlibat dalam sesi libat urus di seluruh negara. Selain itu, kerajaan juga telah turut melaksanakan satu kaji selidik awam di kalangan lebih kurang 8,000 responden untuk mendapatkan pandangan awam berkaitan akta tersebut. Kerajaan pada 2025 telah pun meluluskan dasar Akta Kebebasan Maklumat dan satu Jawatankuasa Protem telah ditubuhkan bagi meneliti penggubalan akta ini.
Tuan M.Kulasegaran a/l V.Murugeson
Yang Berhormat, saya nak syorkan bahawa ini dengan serius a more or less has been completed dan saya difahamkan, kita menunggu perkara itu dipertimbangkan oleh Kabinet dan saya difahamkan akan diusulkan di hari ini, di Kabinet dan satu keputusan akan diketahui tak lama lagi. Yang Berhormat Langkawi, tak ada.
Yang Berhormat Jerlun, ada? Ya. Yang Berhormat Jerlun membangkitkan berkaitan tindakan susulan selepas perlaksanaan latihan hak asasi manusia termasuk mekanisme pemantauan bagi menilai keberkesanan secara berterusan.
Kerajaan berpandangan bahawa penilaian keberkesanan latihan perlu dilaksanakan secara menyeluruh, meliputi aspek pembelajaran, learning, perubahan tingkah laku, behavior dan hasil, outcome.
Pada masa ini, modul latihan yang dibangunkan oleh SUHAKAM bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) merangkumi ujian sebelum dan selepas latihan bagi menilai tahap kefahaman peserta. Kerajaan mengambil maklum bahawa mekanisme penilaian tersebut masih boleh diperkukuh. Sehubungan itu, SUHAKAM akan terus bekerjasama dengan PDRM dan agensi berkaitan bagi membangunkan mekanisme pemantauan dan penilaian yang lebih komprehensif supaya keberkesanan latihan dapat dinilai secara berterusan dan diterjemahkan kepada amaun amalan sebenar dilapangkan.
Tuan Yang di-Pertua, mengakhiri penggulungan ini, sukacita sekali lagi saya merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih atas pandangan dan input-input yang dikongsikan oleh Ahli-ahli Yang Berhormat. Atas faktor kekangan masa dan bagi menjimatkan masa Dewan yang mulia ini, saya memberi jawapan secara tulis kepada Ahli-ahli Yang Berhormat yang belum— yang belum saya jawab pada hari ini. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Terima kasih Yang Berhormat Menteri. Ahli-ahli Yang Berhormat, sekarang saya kemukakan masalah kepada Majlis bagi diputuskan. Masalahnya ialah bahawa usul seperti yang dikemukakan di nombor 1 iaitu Laporan Tahunan SUHAKAM 2024 itu tadi hendaklah disetujukan.
[Usul dikemukakan bagi diputuskan, dan disetujukan]
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Ahli-ahli Yang Berhormat, Mesyuarat Dewan hari ini di tangguh sehingga jam 10.00 pagi, hari Khamis, 9 Julai 2026.
[Dewan ditangguhkan pada pukul 5.43 petang]