Katalog Hansard
[Timbalan Yang di-Pertua (Puan Alice Lau Kiong Yieng) **mempengerusikan Mesyuarat****]
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Saya jemput Puan Hajah Rodziah binti Ismail, Ampang.
1. Puan Hajah Rodziah binti Ismail [Ampang]: Terima kasih Yang Berhormat Timbalan Speaker. Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Ampang minta Menteri Komunikasi menyatakan senarai lengkap, objektif kawal selia, kandungan utama, skop dan status terkini proses pembangunan 10 instrumen subsidiari di bawah Akta 886 iaitu Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 termasuk peraturan, garis panduan, mekanisme pelaksanaan serta perancangan mempertimbangkan pendekatan keselamatan dalam talian yang lebih berstruktur.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Silakan Yang Berhormat Menteri Komunikasi.
Menteri Komunikasi - Datuk Ahmad Fahmi bin Mohamed Fadzil
Terima kasih Yang Berhormat, terima kasih Puan Yang di-Pertua. Kerajaan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia atau MCMC telah menggubal dan menguatkuasakan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 iaitu Akta 866 mulai 1 Januari 2026 bagi memperkukuh keselamatan dalam talian di Malaysia melalui kawal selia terhadap kandungan memudaratkan.
Akta ini turut menetapkan kewajipan dan obligasi ke atas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi atau ASP, Pemberi Perkhidmatan Aplikasi Kandungan atau CASP dan Pemberi Perkhidmatan Rangkaian (NSP) yang secara kolektif dirujuk sebagai pemberi perkhidmatan berlesen.
Bagi memperincikan pelaksanaan dan penguatkuasaan Akta 866, MCMC telah membangunkan 10 instrumen subsidiari yang merangkumi peraturan, kod dan garis panduan yang mana empat peraturan subsidiari telah dikuatkuasakan pada 1 Januari 2026 serentak dengan Akta 866 iaitu;
(i) Peraturan-peraturan Keselamatan Dalam Talian (Fi) 2025;
(ii) Peraturan-peraturan Keselamatan Dalam Talian (Bentuk Aku Janji) 2025;
(iii) Peraturan-peraturan Keselamatan Dalam Talian (Tribunal Rayuan Keselamatan dalam Talian) 2025; dan
(iv) Peraturan-peraturan Keselamatan Dalam Talian (Tempoh) 2025.
Seterusnya, dua lagi peraturan subsidiari telah dikuatkuaskan pada 1 Julai 2026 iaitu Peraturan-peraturan Keselamatan Dalam Talian (Pengkompaunan Kesalahan) 2026 dan kedua, Peraturan-peraturan Keselamatan Dalam Talian (Pelan Keselamatan Dalam Talian) 2026.
Selain itu, MCMC telah menerbitkan Kod Perlindungan Kanak-kanak yakni Child Protection Code atau CPC dan Kod Pengurangan Risiko atau Risk Mitigation Code
(RMC) pada 22 Mei 2026 yang berkuat kuasa mulai 1 Jun 2026 bagi mewujudkan persekitaran dalam talian yang lebih selamat untuk kanak-kanak. Obligasi di bawah kod- kod ini terpakai kepada pemberi perkhidmatan berlesen di bawah Akta 866.
Di bawah CPC, pemberi perkhidmatan berlesen yang menawarkan perkhidmatan media sosial diwajibkan melaksanakan mekanisme pengesahan umur atau dengan izin, age verification bagi memastikan pematuhan terhadap had umur minimum penggunaan media sosial. Pengguna yang berumur 16 tahun ke atas dibenarkan mendaftar dan memiliki akaun media sosial. Manakala, kanak-kanak di bawah umur tersebut tidak dibenarkan membuka atau memiliki akaun sehingga mencapai umur minimum yang ditetapkan.
Mekanisme pengesahan umur hendaklah dilaksana menggunakan dokumen rasmi yang dikeluarkan atau diiktiraf oleh Kerajaan Malaysia seperti MyKad, pasport, sijil kelahiran atau dokumen lain yang diiktiraf. CPC turut membenarkan penggunaan dokumen atau rekod setara yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa kompeten di bidang kuasa lain bagi memastikan perlindungan dalam talian dapat diberikan secara saksama kepada semua kanak-kanak tanpa mengira status dokumentasi mereka.
Di samping itu, MCMC telah menerbitkan garis panduan pemeliharaan dan penzahiran data komunikasi bagi tujuan penyiasatan di bawah Akta 866 pada 30 Januari 2026. Bagi melengkapkan keseluruhan kerangka kawal selia, MCMC kini sedang mengadakan rundingan awam yakni public consultation bagi membangunkan instrumen subsidiari yang terakhir iaitu Peraturan-peraturan Keselamatan Dalam Talian (Sifat yang Lain bagi Ciri-ciri Pesanan Peribadi). Rundingan awam tersebut telah bermula pada 19 Jun dan dijadualkan berakhir pada 20 Julai tahun ini sebelum peraturan ini dimuktamadkan.
Kesemua perundangan subsidiari, kod dan garis panduan ini digubal bagi memperincikan kewajipan serta obligasi pemberi perkhidmatan berlesen di bawah Akta 866, di samping memberikan panduan yang jelas mengenai pematuhan terhadap tanggungjawab statutori mereka. Kerajaan komited untuk terus memperkukuh kerangka keselamatan dalam talian melalui pendekatan kawal selia yang menyeluruh, berstruktur dan berasaskan risiko.
Pendekatan ini bukan hanya memperjelas tanggungjawab pemberi perkhidmatan berlesen, malah memastikan ruang dalam talian di Malaysia menjadi lebih selamat khususnya bagi kanak-kanak dan keluarga. Sekali gus, meningkatkan keyakinan rakyat terhadap ekosistem digital negara. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Ampang.
Puan Hajah Rodziah binti Ismail - Ampang
Terima kasih Yang Berhormat Menteri. Saya rasa soalan yang saya timbulkan ini memang saya rasa ada perkara itu dapat dijawab boleh dikatakan agak baik, sebab kita tengok latar belakang daripada perkara ini timbul adalah bilanya ada komitmen daripada kerajaan untuk melaksanakan 10 instrumen ini. Jadi, tahniah lah. Kita nampak tadi ada sembilan daripada 10 telah pun disusun ataupun dibuat dengan baik. Tapi— termasuk sebenarnya ada tribunal akan diletakkan.
Jadi untuk itu, saya ingin menyatakan di sini, memandangkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) merupakan regulator yang akan memastikan perkara ini berlaku— Saya sebenarnya Yang di-Pertua, saya melihat di dalam Jawatankuasa Pilihan, kita dimaklumkan bahawa kapasiti SKMM dalam menangani isu- isu atas talian ini buat masa ini kebanyakannya dalam secara manual. Maksudnya, kalau nak tengok apa perkara yang ada, semuanya secara manual.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Soalan— terus kepada soalan.
Puan Hajah Rodziah binti Ismail - Ampang
Jadi, saya ingin menyatakan atau bertanya kepada pihak Menteri, apakah kapasiti ini dengan lengkapnya nanti instrumen yang ada ini, kita juga akan melengkapkan ataupun memberikan advance ataupun penambahan kepada tenaga kerja, kepakaran teknikal termasuk teknologi AI. Ini yang penting. Kalau boleh kita harap perkara-perkara ini dapat dibuat serentaklah. Supaya akhirnya SKMM yang diberikan mandat ini akan diberikan peruntukan-peruntukan dan sumber-sumber yang khusus yang tambahan supaya kecekapan ini dapat selaras. Itu pertama.
Yang keduanya, saya nak tanya berkaitan dengan ciri-ciri asas AI. Saya dapati...
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Yang Berhormat, terus kepada soalan.
Puan Hajah Rodziah binti Ismail - Ampang
Minta maaf?
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Terus kepada soalan. Soalan terlalu panjang.
Puan Hajah Rodziah binti Ismail - Ampang
Okey. Oh, yang ini terakhir. Saya dapati ciri-ciri alat berasaskan AI belum dibangunkan. Jadi, boleh tak Menteri bagi sedikit pencerahan. Terima kasih.
Tuan Syed Saddiq bin Syed Abdul Rahman - Muar
[Bangun]
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Silakan Yang Berhormat Menteri.
Datuk Ahmad Fahmi bin Mohamed Fadzil
Terima kasih Ahli Yang Berhormat, terima kasih Puan Yang di-Pertua. Pertama, untuk menjawab soalan mengenai jumlah kakitangan, memang pada waktu ini pihak MCMC sedang merangka beberapa aspek mempertimbang penggunaan dengan izin, kecerdasan buatan beragen ataupun agentic AI. Kerana untuk makluman Dewan yang mulia ini, dari 1 Januari sehingga semalam, jumlah kandungan memudaratkan yang telah dikenal pasti dan dipohon untuk diturunkan oleh pihak MCMC berjumlah 345,712 kandungan.
Setiap satu kandungan ini memerlukan banyak dokumen yang perlu disiapkan dan asas-asas ataupun alasan-alasan bagaimana kandungan tersebut memudaratkan.
Dan MCMC memaklumkan secara purata mengambil masa antara 30 ke 45 minit untuk setiap satu aduan ini difailkan dengan platform-platform berkenaan. Dan kalau kita ambil angka 345,712 yang saya sebutkan tadi dan kita kali 30 minit satu permohonan, bermaksud dari 1 Januari sehingga semalam MCMC telah mengguna pakai sejumlah 19.7 tahun dengan izin, manhours waktu bekerja. 19.7 tahun waktu bekerja untuk memfailkan kandungan yang dipercayai memudaratkan.
Maka, memang saya telah mohon supaya MCMC meneliti supaya tidak dibazirkan. Tapi sebenarnya masalah bukan pada— sepatutnya masalah kandungan memudaratkan ini ditangani oleh platform itu sendiri. Saya bagi contoh daripada jumlah ataupun angka yang saya sebutkan tadi, sebenarnya 91 peratus daripada kandungan itu adalah bersifatkan perjudian atau scam, 91 peratus.
Jadi, dia adalah kandungan yang berulang, dihasilkan oleh penjenayah, diiklankan dan dibayar iklan itu kepada platform dan walaupun pihak MCMC dan orang ramai membuat aduan, namun platform-platform masih enggan mengambil tindakan.
Jadi dia adalah kesalahan yang berulang.
Maka, selepas ini ONSA dengan peraturan dan subsidiari yang telah saya nyatakan tadi perlu memastikan pertama, ekosistem digital negara termasuk dalam lingkungan platform-platform media sosial ini menjadi lebih selamat, secara automatik oleh platform itu sendiri, ya. Dan kita berharap dengan usaha ini dapat menjamin keadaan yang lebih selamat.
Soalan kedua tadi, Yang Berhormat?
Puan Hajah Rodziah binti Ismail - Ampang
Berkaitan dengan apakah nak menggunakan AI sebab saya lihat ia belum diwajibkan kepada semua pentadbir- pentadbir Facebook dan sebagainya.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Ringkaskan jawapan.
Datuk Ahmad Fahmi bin Mohamed Fadzil
Baik, ringkaskan. Secara ringkas, saya baca dalam satu platform Threads semalam, ByteDance yang mengendalikan TikTok di Malaysia telah membuang pekerja dalam tempoh baru-baru ini dan dipercayai ini adalah dari kalangan trust and safety team, yang mana memang sebelum ini pihak ByteDance sendiri mengguna pakai AI untuk meneliti isu-isu berkaitan pelanggaran community guidelines, dengan izin.
Datuk Dr. Ahmad Marzuk bin Shaary - Pengkalan Chepa
[Bangun]
Datuk Ahmad Fahmi bin Mohamed Fadzil
Tapi kita lihat platform-platform masih belum mampu menggunakan AI untuk menurunkan kandungan memudaratkan.
Jadi, di belah platform pun perlu mengguna pakai AI, di belah MCMC pun nanti akan menggunakan AI untuk menguruskan isu-isu kemudaratan dalam talian, insya-Allah.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Muar.
Tuan Syed Saddiq bin Syed Abdul Rahman - Muar
Terima kasih Puan Pengerusi. Muar ada dua soalan dan cadangan berkait dengan larangan memiliki akaun sosial media bagi anak-anak bawah 16 tahun. Pertama adakah akan ada pengecualian dari sudut sosial media contohnya TikTok, Facebook, Instagram yang ada DM tak boleh tetapi child’s account bagi YouTube dibenarkan kerana banyak sumber pendidikan boleh diperolehi. Ini benchmark sama dengan negara-negara maju yang telah melaksanakan undang-undang ini, kadangkala pengecualian diberikan kepada YouTube. Persoalan kedua mungkin kita boleh adakan sistem opt-in. Secara amnya anak- anak bawah 16 tahun tidak boleh memiliki tetapi jikalau ibu bapa yang mengendalikan akaun yang ada child’s safety account, mungkin boleh diberikan tetapi beban tanggungjawab legal itu diletakkan ke atas ibu bapa yang mengendalikan akaun ini. Ini dua cadangan, terima kasih Yang Berhormat.
Datuk Dr. Ahmad Marzuk bin Shaary - Pengkalan Chepa
[Bangun]
Datuk Ahmad Fahmi bin Mohamed Fadzil
Terima kasih Yang Berhormat Muar. Cadangan yang baik dan memang sebenarnya kita dalam perbincangan antara Kementerian Komunikasi dan juga pihak MCMC dengan platform-platform, beberapa cadangan ini ada dibincangkan. Dan secara dasar, kerajaan tidak menghalang ibu bapa dari membuka akaun untuk anak-anak. Yang kita minta ialah dengan izin, parental controls.
Apa yang berlaku di Sabah mungkin tiga, empat bulan yang lalu, ada satu kes di mana seorang lelaki telah dihukum penjara 10 tahun kerana telah merogol seorang kanak-kanak 15 tahun yang berkawan dengan lelaki itu melalui TikTok. Bermaksud, akaun TikTok kanak-kanak ini telah dicerobohi oleh orang dewasa untuk berkawan dan kemudiannya diperlakukan secara jenayah seksual. Ini yang kita tak nak berlaku. Kanak- kanak menjadi mangsa.
Tapi harapan kita, literasi digital di kalangan ibu bapa perlu dipertingkat. Ini kita mula laksana sejak tahun lalu melalui kempen Internet Selamat.
Kedua, sebenarnya YouTube pada waktu ini kalau kita tengok TikTok sekalipun, kalau kita buka tak menjadi masalah. Kita tak— sebenarnya tak melarang menonton.
Waima, cucu Yang Amat Berhormat Perdana Menteri sekalipun menegur beliau dan saya jelaskan kita tidak melarang daripada menonton. Yang kita tak mahu ialah kanak- kanak bercakap dengan orang dewasa yang tak dikenali. Kita nak sekat di situ.
Tapi kita guna pakai satu standard kepada semua dan kita harap perbincangan dengan platform-platform media sosial boleh membuahkan hasil yang positif terutama untuk menjamin keselamatan anak-anak kita. Terima kasih.
Datuk Dr. Ahmad Marzuk bin Shaary - Pengkalan Chepa
Speaker, sikit je.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Saya jemput Tuan Roslan bin Hashim, Kulim-Bandar Baharu.
Datuk Dr. Ahmad Marzuk bin Shaary - Pengkalan Chepa
Speaker, pendek sahaja soalan.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Sila duduk. Soalan kedua.
Datuk Dr. Ahmad Marzuk bin Shaary - Pengkalan Chepa
Datang awal pagi, Speaker tak bagi juga.
2. Tuan Roslan bin Hashim [Kulim-Bandar Baharu]: Baik. Terima kasih Puan Speaker. Soalan daripada Kulim. Minta Menteri Pendidikan menyatakan tahap keselamatan murid di sekolah seluruh negara termasuk langkah yang telah diambil bagi memastikan persekitaran sekolah kekal selamat dan bebas daripada risiko kemalangan, buli serta ancaman lain. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Silakan Yang Berhormat Menteri Pendidikan untuk menjawab.
Menteri Pendidikan - Puan Fadhlina binti Sidek
Terima kasih Yang di-Pertua.
Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Tuan Yang di-Pertua, Kementerian Pendidikan Malaysia sentiasa meletakkan keselamatan, kesejahteraan dan perlindungan murid sebagai keutamaan dalam pengurusan seluruh institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia.
Komitmen ini dilaksanakan secara menyeluruh, merangkumi lima fokus iaitu pencegahan, pemantauan, pelaporan, intervensi dan penguatkuasaan disokong oleh kerjasama strategik merentas kementerian dan agensi berkaitan.
Bagi tujuan ini, KPM mengambil langkah dasar yang lebih menyeluruh apabila melancarkan Garis Panduan Pengurusan Sekolah Selamat Kementerian Pendidikan dan Polisi Perlindungan Murid Sekolah Bawah Kementerian Pendidikan pada 11 Jun 2026 sebagai rujukan utama bagi seluruh institusi pendidikan dalam memperkukuh keselamatan fizikal, sosial dan emosi murid melalui langkah-langkah berikut:
(i) memperkasa Jawatankuasa 3K (kebersihan, kesihatan dan keselamatan) melalui audit keselamatan berkala dan pemantauan kawasan berisiko;
(ii) melaksanakan latihan serta simulasi kecemasan secara berkala termasuk kebakaran, pengungsian bangunan dan pengurusan krisis dengan kerjasama JBPM, PDRM dan APM;
(iii) meningkatkan kesedaran keselamatan warga sekolah melalui program pendidikan keselamatan, Kempen Keselamatan Jalan Raya, keselamatan kokurikulum dan perlindungan murid;
(iv) melaksanakan program Kunjung Bantu Berfokus oleh JPN dan PPD untuk membantu sekolah yang dikenal pasti berisiko tingi dari aspek keselamatan; dan
(v) mewujudkan penyelaras Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan di setiap sekolah dengan sasaran sekurang-kurangnya seorang penyelaras terlatih bagi melaksanakan pengurusan risiko secara lebih sistematik.
Menteri Pendidikan - Puan Fadhlina binti Sidek
Selain itu, Jawatankuasa Khas Reformasi Keselamatan Institusi Pendidikan yang ditubuhkan pada Ogos 2025 dan dianggotai oleh wakil agensi kerajaan, ahli akademik, badan kerajaan dan bukan kerajaan, wakil ibu bapa serta wakil committee seperti KKM, PDRM, JKM, NIOSH, UNICEF, SUHAKAM, NCWO dan lain-lain organisasi dan agensi. Jawatankuasa ini berperanan meneliti, menambah baik dan memperkukuh dasar, mekanisme serta pelaksanaan langkah keselamatan di institusi pendidikan berdasarkan keperluan sebenar di lapangan.
Untuk makluman Yang Berhormat, dari aspek pemantauan dan audit, Jemaah Nazir turut menilai keberkesanan keselamatan sekolah berdasarkan tujuh indikator iaitu:
(i) analisis trend kehadiran murid dalam tempoh tiga tahun;
(ii) data sistem salah laku disiplin murid;
(iii) soal selidik murid dan guru;
(iv) pemeriksaan mengejut;
(v) keberkesanan jalinan sekolah dengan PDRM dan alumni;
(vi) pemerhatian keselamatan fizikal; dan
(vii) keberfungsian CCTV.
Selain itu, tahap keselamatan sekolah turut dinilai secara berterusan. Sekiranya ada perkara-perkara yang memerlukan bimbingan, ia akan dilaksanakan melalui sokongan berfokus daripada JPM dan PPD melalui Program Kunjung Bantu Berfokus.
Yang Berhormat, dalam konteks menangani gejala buli di peringkat sekolah, KPM mempunyai mekanisme yang jelas melalui Surat Pekeliling Ikhtisas Bil.12 Tahun 2023 yang kini sedang dikemas kini selaras dengan Akta Antibuli 2026 yang berkuat kuasa melalui 16 Jun 2026. Ia akan menjadi satu kerangka perundangan baru bagi menangani buli secara lebih tegas dan tersusun.
Tribunal bagi antibuli turut dilancarkan bagi memperkukuh pencegahan, perlindungan mangsa dan penguatkuasaan terhadap pelaku dan di peringkat sekolah, Jawatankuasa Disiplin Sekolah diperkasakan sebagai barisan hadapan pencegahan dan siasatan awal manakala portal aduan buli disediakan sebagai saluran aduan yang selamat dan mesra kanak-kanak.
KPM turut memperkenalkan program SAFE–School Anti-Bullying Framework for Empowerment yang menekankan psiko pendidikan melalui empat pendekatan iaitu pencegahan, perkembangan, pemulihan dan pengurusan krisis. Dalam masa yang sama, Kementerian Pendidikan Malaysia turut memperkukuh langkah keselamatan di sekolah asrama. Dalam hal ini, KPM telah memperluaskan pemasangan televisyen litar tertutup di sekolah berasrama daripada 200 buah pada tahun 2025 kepada 333 buah pada tahun 2026 di samping melantik 300 pembantu warden asrama melalui 1 April 2026 bagi memperkukuh pemantauan murid pada waktu malam.
KPM turut memberi keutamaan kepada penyelenggaraan aset dan infrastruktur sekolah bagi memastikan kemudahan pendidikan sentiasa berada di tahap yang terbaik.
Ini termasuk penyelenggaraan aset bangunan, tanah dan infrastruktur di sekolah, bilik guru, dan juga sekolah-sekolah daif.
Sehubungan dengan itu, bagi memberikan juga keutamaan dalam aspek kesihatan mental murid sebagai teras kepada kebajikan kesejahteraan dan perkembangan holistik murid, KPM telah melaksanakan Program Minda Sihat Sekolah bagi memperkasa psikososial, menyokong kesejahteraan sosial emosi murid dan melaksanakan intervensi kepada murid yang dikenal pasti agar mereka dapat menguruskan emosi dengan baik. Dan kerjasama ini dilaksanakan bersama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia, begitu juga dengan melibatkan pihak-pihak lain termasuk ibu bapa, komuniti dan sektor swasta bagi menyokong dan memperkasa kesejahteraan mental murid.
Dalam masa yang sama, platform ataupun sebuah ruang bagi anak-anak kita mendengar suara hati mereka, khususnya dalam menangani kesihatan mental dan cabaran psikososial turut diperkukuhkan melalui penubuhan Majlis Pemimpin Murid Malaysia yang diangkat sebagai wadah untuk memberikan peluang kepada para pelajar menyuarakan pandangan dan idea mereka dalam soal pendidikan. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Kulim-Bandar Baharu.
Tuan Roslan bin Hashim - Kulim-Bandar Baharu
Baik. Terima kasih YB Menteri atas jawapan yang begitu panjang, jelas, padat juga. Namun YB Menteri, masih ramai ibu bapa yang risau tentang keselamatan anak mereka di sekolah. Contohnya, seorang pelajar yang terjatuh dari tingkat tiga di sebuah sekolah di Sendayan, Negeri Sembilan dan meninggal pada 19 Jun 2026. Dan contoh yang kedua 19 Mei 2026, murid Tahun 5 jatuh daripada bangunan sekolah di Batu Berendam, Melaka dan juga baru ini isu minggu lepas, sebahagian daripada bangunan di SK Lubok Buntar yang roboh dan terkena pelajar, dua pelajar yang cedera.
Jadi, apakah tindakan-tindakan yang segera diambil oleh KPM untuk atasi benda- benda untuk mengurangkan kerisauan ibu bapa? Dan juga, apakah langkah kementerian bagi memastikan keselamatan murid di sekolah terus terpelihara melalui pemantauan audit keselamatan, latihan kecemasan dan intervensi tentang sekolah berisiko? Juga, tentang usaha penyelenggaraan kuarters-kuarters guru yang dilaksanakan oleh KPM ke arah menjamin kesejahteraan dan keselamatan guru dan juga warga sekolah. Terima kasih.
Puan Fadhlina binti Sidek
Tuan Yang di-Pertua, sebenarnya jawapan saya tadi sebenarnya telah pun menjawab keseluruhan persoalan yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat sebentar tadi. Namun demikian Yang Berhormat, saya ambil maklum tentang keprihatinan Yang Berhormat berkaitan dengan keselamatan para pelajar yang dinyatakan sebentar tadi.
Yang Berhormat, pertamanya izinkan saya menegaskan juga bahawa setiap kes yang berlaku, kita akan lihat kes ini secara berasingan kerana ia melibatkan banyak faktor dan bukan sahaja isu keselamatan semata-mata tetapi juga psiko emosi dan juga keadaan mental anak-anak ini. Itu yang pertama.
Yang kedua Yang Berhormat, saya setuju Yang Berhormat bahawa soal audit, soal pemantauan, ini mesti terus diberikan pengukuhan di peringkat Kementerian Pendidikan Malaysia. Dan sebab itu Yang Berhormat, apabila kita bercakap tentang pemantauan, audit dan sebagainya ini, kita melakukannya secara tidak berseorangan.
Tetapi sebuah jawatankuasa yang telah pun ditubuhkan untuk memastikan bahawa seluruh agensi dan organisasi ini mempunyai pandangan dan juga memastikan bahawa Kementerian Pendidikan Malaysia melaksanakan semua agenda-agenda untuk memantau dan memperkukuhkan ekosistem selamat di sekolah ini.
Sebagai contoh Yang Berhormat, kita mendapat sokongan penuh daripada NIOSH misalnya, kepakaran NIOSH ini untuk memastikan soal-soal yang terkait dengan bangunan, soal-soal yang terkait dengan longkang, soal-soal yang terkait dengan kebakaran, yang diberikan bimbingan sepenuhnya dan juga dilatih oleh pihak NIOSH untuk memastikan bahawa di peringkat sekolah ada penyelaras keselamatan ini diwujudkan.
Saya ambil maklum juga berkaitan dengan saranan Yang Berhormat berkaitan dengan kuarters guru. Sebagai mana yang saya sebut dalam jawapan saya sebentar tadi, bahawa antara perhatian utama yang kita berikan untuk kesejahteraan guru. Selain daripada bilik guru, adalah kuarters guru yang sedang kita kenal pasti bagaimana kita boleh terus mengoptimumkan. Selain daripada membaiki, ada juga kuarters-kuarters guru ini sudah tidak optimum untuk dibaiki.
Manakala yang lain itu, kita akan usahakan bersama dengan agensi yang lain untuk memastikan ia dapat terus dioptimumkan penggunaannya. Barangkali maknanya untuk memenuhi keperluan kepentingan penjawat awam yang lain juga selain daripada guru yang melihat bahawa isu-isu ini termasuk dalam sebahagian besar daripada— maknanya penekanan kita terkait dengan kesejahteraan guru. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Bukit Bendera.
Puan Syerleena binti Abdul Rashid - Bukit Bendera
Terima kasih Puan Yang di-Pertua. Jadi terlebih dahulu saya ingin rakamkan penghargaan kepada Kerajaan MADANI dan juga khususnya Kementerian Pendidikan kerana sentiasa menetapkan keutamaan, keselamatan dan juga kebajikan murid-murid kita sebagai keutamaan. Kita tahu menguruskan hal ehwal pelajar yang sebanyak lebih lima juta itu bukannya perkara yang mudah. Jadi usaha ini yang berterusan perlulah dikatakan wajar dihargai.
Jadi soalan saya, dengan perlaksanaan peruntukan baharu di bawah anti— akta, minta maaf, antibuli yang turut meletakkan tanggungjawab kepada ibu bapa dalam kes- kes tertentu. Jadi, kita nak tahu, apakah mechanism yang akan digunakan untuk memastikan penguatkuasaan dilaksanakan dengan adil, khususnya? Bagaimanakah kementerian akan membezakan antara ibu bapa yang benar-benar cuai dengan ibu bapa yang telah mengambil langkah sewajarnya, namun anak mereka masih lagi terlibat dalam insiden buli? Terima kasih.
Puan Fadhlina binti Sidek
Yang Berhormat— Tuan Yang di-Pertua, saya ucapkan terima kasih di atas keprihatinan Yang Berhormat untuk melihat bahawa isu ini dilihat secara keseluruhan dan inilah yang sebenarnya diharapkan di peringkat Kementerian Pendidikan Malaysia bahawa isu-isu yang terkait dengan pendidikan ini, dengan soal melindungi anak-anak kita ini; dan soal yang terkait dengan kebajikan khususnya emosi; dan yang terkait dengan apa yang disebut sebagai psikososial mereka ini dilihat secara menyeluruh oleh semua pihak.
Apabila kita melihat bahawa ada kes-kes yang melibatkan sama ada isu disiplin ataupun isu-isu salah laku, ataupun apa-apa isu yang kita lihat sebagai sedikit sebanyak memberikan kesan kepada anak-anak ini, maka perbincangan dengan ibu bapa akan menjadi keutamaan.
Puan Fadhlina binti Sidek
Dan perbincangan ibu bapa ini harus juga dibantu dengan sistem sokongan yang lain sebab itu di peringkat Kementerian Malaysia Yang Berhormat kita juga menyediakan kaunselor-kaunselor yang bertauliah untuk memastikan bahawa sesi perbincangan, sesi tindak susul selepas perbincangan itu termasuk sokongan psikososial itu dipantau oleh kaunselor kaunseling yang bertauliah dan memastikan intervensi itu secara berterusan.
Inilah yang kita harapkan melalui apa yang disebut sebagai gabungan PIBG, PIKS dan komuniti untuk melihat bahawa keseluruhan intervensi yang kita lakukan ini akan berjaya. Namun demikian, sekiranya ada gangguan ataupun ada yang kita sebut sebagai sebagaimana yang Yang Berhormat sebut tadi sekiranya tidak dapat dilaksanakan dan sebagainya, sebahagian besarnya akan kita selesaikan melalui autoriti yang berbeda melihat kepada keperluan anak-anak ini dan juga melihat pada kepakaran yang ada pada agensi lain yang akan kita minta untuk sama-sama melakukan intervensi ini. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Saya jemput Datuk Andi Muhammad Suryady bin Bandy, Kalabakan.
3. Datuk Andi Muhammad Suryady bin Bandy [Kalabakan]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.
Kalabakan minta Menteri Kewangan menyatakan krisis Asia Barat yang berpanjangan telah menyebabkan kos logistik melonjak, harga input melambung dan rantaian bekalan terjejas teruk, menghimpit rakyat kecil yang berniaga kecil-kecilan dan usahawan mikro yang sudah sedia kekurangan modal. Apakah langkah segera dan konkrit yang telah diambil oleh Kerajaan MADANI untuk memastikan peniaga kecil, penjaja dan PMKS tidak terus terbeban dan terpaksa gulung tikar akibat tekanan ekonomi global ini? Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Silakan Yang Berhormat Menteri Kewangan untuk menjawab.
Menteri Kewangan II - Datuk Seri Amir Hamzah Azizan
Terima kasih Yang Berhormat Kalabakan atas soalan tersebut. Puan Yang di-Pertua, kerajaan MADANI sentiasa memantau dengan teliti impak kekangan dan ketegangan geopolitik di Asia Barat yang mencetus kesan rantai terhadap ekonomi global termasuk lonjakan kos logistik dan harga input.
Kerajaan cakna kepada tekanan ini dan yang turut dirasai oleh para penjaja, pengusaha mikro kecil dan sederhana yang merupakan antara golongan yang paling mudah terkesan atas kejutan kos. Bagi mengurangkan tekanan kos yang dihadapi oleh pengusaha PMKS selain memastikan mereka mendapat mengekalkan kelangsungan perniagaan kerajaan telah segera melaksanakan beberapa langkah.
Yang pertama, kerajaan telah memperkukuhkan akses pembiayaan kepada PMKS melalui kemudahan pinjaman dan jaminan pembiayaan oleh kerajaan berjumlah RM15 bilion menerusi bank-bank dan agensi-agensi kerajaan. Inisiatif ini memastikan PMKS terus memperoleh modal kerja yang diperlukan bagi mengekalkan operasi melalui program ini.
Kedua, bagi membantu pengusaha mikro terus berniaga walaupun berdepan dengan kenaikan kos, kerajaan telah menyediakan pembiayaan mikro melebihi RM5 bilion melalui AIM, Agrobank, BSN, Bank Rakyat, MARA dan TEKUN. Kemudahan ini membolehkan rakyat yang mencari rezeki melalui peniagaan kecil-kecilan memperoleh modal kerja untuk meneruskan peniagaan mereka. Bagi tempoh 15 Mei hingga 26 Jun 2026, lebih 500 juta pembiayaan mikro telah diluluskan yang memanfaatkan lebih 30,000 usahawan.
Ketiga, bagi Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) bagi memastikan PMKS mendapat akses pembiayaan kerajaan turut meluncurkan Skim Jaminan Bantuan Kerajaan MADANI bernilai RM5 bilion melalui SJPP bagi tempoh 15 Mei hingga 30 Jun 2026. SJPP meluluskan jaminan pembiayaan RM219 juta yang memanfaatkan lebih 300 PMKS khususnya sektor agro, pembinaan logistik dan pelancongan.
SJPP turut bekerjasama dengan pihak bank bagi memudahcarakan penstrukturan, penjadual semula pembiayaan dan menyediakan bantuan bayaran balik bersasar sekali gus membantu PMKS mendepani saat mencabar ini.
Keempat, bagi membantu PMKS yang terkesan BNM juga telah menyediakan dana pembiayaan RM5 bilion bawah SRF sejak dilancarkan pada bulan Mei hampir RM1 bilion diluluskan kepada lebih 1,500 PMKS dengan baki dana RM4 bilion yang masih ada ruang pembiayaan bagi permohonan seterusnya adalah mencukupi.
Kita juga mengambil kira yang rakyat juga ada tekanan dalam kos ini dan kita sentiasa memberi sokongan melalui STR dan SARA. Jumlah penerima STR dan SARA hampir 9 juta orang. Dan untuk SARA Untuk Semua 22 juta orang yang mengambil belanja RM15 bilion yang diperuntukkan oleh kerajaan tapi kita bukan saja mengambil isu itu tapi juga melihat penglibatan peniaga-peniaga kecil di mana rakan niaga SARA turut ditingkatkan sehingga 13,000 rakan niaga termasuk 6,000 kedai runcit kecil.
Jadi dalam usaha ini, kerajaan sentiasa komited untuk menghadapi kos yang ada dan akan terus mencari jalan lain untuk mengatasi isu yang ada. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Kalabakan.
Datuk Andi Muhammad Suryady bin Bandy - Kalabakan
Terima kasih atas jawapan daripada Menteri. Cuma, Puan Speaker saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengalu-alukan kakitangan Pejabat Pusat Khidmat 198 Puncak Borneo dan warga Puncak Borneo ke Dewan Rakyat.
[Dewan Tepuk]
Datuk Andi Muhammad Suryady bin Bandy - Kalabakan
Mereka ini adalah tulang belakang perkhidmatan pusat khidmat di Parlimen Puncak Borneo kepada masyarakat di sana. Ini permintaan dari Puncak Borneo. Selamat datang. Okey, soalan tambahan.
Terima kasih atas jawapan daripada Menteri. Jawapan yang baik. Cuma saya ingin mendapat penjelasan lagilah berkenaan langkah yang diambil melalui Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Berhad ataupun SJPP bagi menyediakan kemudahan jaminan pembiayaan kepada PKS khususnya dalam sektor pertanian, logistik, pembinaan dan juga pelancongan soalan pertama.
Dan yang kedua, bagaimanakah ya kerajaan memastikan skim pembiayaan SME SRF stabilization relief facility berjumlah RM5 bilion itu dapat diakses oleh peniaga mikro dan usahawan kecil yang sudah pastinya ada yang ada, ada yang tidak ada rekod kewangan ataupun dokumentasi perniagaan yang lengkap. Terima kasih.
Datuk Seri Amir Hamzah Azizan
Terima kasih Yang Berhormat Kalabakan.
Puan Yang di-Pertua, sebagai pelengkap dengan pembiayaan langsung, kerajaan telah menyediakan skim jaminan kerajaan melalui SJPP dengan kapasiti jaminan sehingga RM5 bilion. Skim ini menyasarkan sektor terjejas seperti pertanian, agro makanan, logistik, pengangkutan, pembinaan serta pelancongan.
Dari segi struktur jaminan, SJPP menyediakan liputan jaminan sehingga 80 peratus dengan tempoh jaminan dipanjangkan sehingga sepuluh tahun bagi mengurangkan kos pada PMKS. Skim ini juga menawarkan yuran jaminan yang dikurangkan kepada 0.75 peratus setahun.
Pendekatan ini berfungsi sebagai credit enhancement yang signifikan bagi memboleh dan membantu PMKS yang berdaya maju tapi kurang cagaran untuk mendapat akses kepada pembiayaan bagi tujuan modal kerja dan perbelanjaan modal.
Langkah ini seterusnya dapat menyokong kesinambungan operasi mereka dalam mendepani persekitaran ekonomi yang mencabar.
Berhubung dengan SME SRF RM5 bilion, PKS yang layak boleh mendapatkan pembiayaan sebanyak sehingga RM750,000 untuk tempoh sehingga lima tahun dengan kadar pembiayaan maksimum sebanyak 3.75 peratus setahun. Pembiayaan ini disokong oleh jaminan sehingga 80 peratus oleh CGC Corporation Malaysia dan SJPP—khususnya bagi PMKS yang tidak mempunyai cagaran yang mencukupi.
Sokongan jaminan ini seterusnya meningkatkan akses kepada PMKS termasuk perusahaan mikro, terutamanya bagi mereka yang tidak mempunyai cagaran atau rekod prestasi.
Dalam menilai kebolehbiayaan permohonan, pihak bank juga terbuka untuk menggunakan pendekatan-pendekatan alternatif seperti menilai aliran transaksi dan baki penyata bank. Sekian, terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Pendang.
Datuk Haji Awang bin Hashim - Pendang
Terima kasih Puan Yang di-Pertua.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam sejahtera.
Saya ingin membangkitkan beberapa— satu soalan berkenaan dengan yang ada kaitan dengan soalan nombor 3, dibangkitkan oleh Kalabakan tadi.
Pendang melihat krisis Timur Tengah ini tidak ada kesudahan, dan mungkin akan bermula dan berpanjangan. Jadi oleh sebab itu, kita lihat krisis Timur Tengah ini membuktikan bahawa keterjaminan makanan bukan lagi sekadar isu pertanian tetapi telah menjadi isu keselamatan negara. Saya nak melihat, kaitan dengan kadar sara diri iaitu SSL, beras negara yang masih sekitar 56 peratus serta kebergantungan yang tinggi terhadap import makanan strategik seperti gandum, jagung, bijirin dan makanan ternakan.
Apakah pelan kontigensi kerajaan sekiranya berlaku gangguan serius terhadap gangguan perdagangan dunia seperti Selat Hormuz atau Laut Merah yang menjejaskan bekalan makanan negara? Adakah kerajaan bercadang mewujudkan stok penimbal makanan strategik negara, yang mampu menampung keperluan rakyat sekurang- kurangnya bagi tempoh tiga tahun, tiga hingga enam bulan sebagai langkah menghadapi sebarang krisis geopolitik atau gangguan rantaian bekalan global pada masa hadapan. Ya, itu soalan saya.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Silakan.
Datuk Seri Amir Hamzah Azizan
Terima kasih, Pendang ke atas soalan itu.
Soalan itu jauh daripada soalan yang kita mulakan, tapi saya cuba jawablah kan.
Kalau kita tengok daripada segi krisis yang terwujud selepas peperangan yang berlaku di Asia Barat, pendekatan kerajaan ialah, yang pertama ialah untuk menjamin kestabilan bekalan yang ada di dalam Malaysia.
Yang pertama sekali, kita melihat dari segi kestabilan bahan api yang ada dalam negara dan alhamdulillah, setakat ini kita tak ada apa-apa gangguan yang kita dapat dalam supply bahan api yang ada dalam negara. Tak ada orang yang kena beratur panjang di stesen-stesen minyak dan bekalan untuk perniagaan-perniagaan pun kekal cukup di dalam negara.
Ini kerana kita mendapat— mengambil peranan— pendekatan whole of nation approach, di mana kita mengambil bukan sahaja dari segi kerajaan tapi kerjasama dengan institusi seperti PETRONAS, syarikat-syarikat minyak lain yang mengambil peranan untuk menstabilkan supply yang ada dalam negara. Pendekatan yang sama juga, diambil juga untuk supply, supply yang kritikal di dalam negara. Ini termasuk ubat- ubatan di mana kita juga telah meningkatkan stok untuk ubat-ubatan dalam negara.
Untuk sektor agromakanan, kita ambil kira, yang stok yang ada dalam negara adalah satu benda yang penting yang dipantau oleh MTEN. Dalam stok bekalan beras terutamanya, kita ada stok dalam negara yang lebih enam bulan dan akan ditingkatkan kepada sehingga sembilan bulan dalam negara. Ini dengan menggunakan stok simpanan yang ada melalui BERNAS yang ada dan juga stok-stok yang ada melalui pembekal-pembekal yang ada dalam Malaysia.
Untuk isu lain, kebanyakan barang-barangan yang boleh dikeluarkan di dalam negara, kita mengambil kira kos pengeluarannya kerana itulah skim-skim yang kita ada melalui subsidi yang kita berikan, ditujukan kepada mereka yang dalam sektor ini, seperti BUDI Agro-Komodoti. Di mana kita memberi RM200, campur lagi RM200, semasa tekanan masa peperangan Asia Barat untuk menolong petani dan pekebun untuk menghadapi kos operasi. Ini menjamin mereka terus mengekalkan pengeluaran yang ada dalam negara. Terima kasih.
[Sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri tamat]
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Saya jemput Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong, Ayer Hitam.
Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong - Ayer Hitam
Terima kasih, Puan Yang di- Pertua. Soalan saya soalan pertama.
1. Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong [Ayer Hitam] minta Menteri Pengangkutan menyatakan penjelasan status pelaksanaan projek e-ART Johor sama ada tanggungan Persekutuan adalah pembiayaan terus atau menerusi model konsesi bersama pihak swasta serta unjuran kesesakan yang dijangka apabila RTS Link beroperasi pada Januari 2027 sebelum projek e-ART siap.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Silakan, Yang Berhormat Menteri Pengangkutan untuk menjawab.
Menteri Pengangkutan - Tuan Loke Siew Fook
Terima kasih, Puan Yang di- Pertua. Dengan izin, pertanyaan ini akan dijawab bersekali dengan Yang Berhormat Pulai, bertarikh 8 Julai 2026.
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Kementerian Pengangkutan amat prihatin terhadap kesalinghubungan sistem pengangkutan awam darat di wilayah Iskandar Malaysia terutamanya bagi menyokong pengoperasian perkhidmatan Rapid Transit System Link (RTS Link) antara Johor Bharu dengan Singapura yang dijadualkan bermula pada tahun— bulan Januari 2027.
Bagi makluman Yang Berhormat, Jemaah Menteri telah bersetuju supaya projek pembangunan pengangkutan awam darat di wilayah Iskandar Malaysia bagi koridor utama dan timur dilaksanakan menggunakan sistem e-ART bagi menyokong perkhidmatan RTS Link. Projek e-ART ini merupakan projek pembangunan Kerajaan Persekutuan yang dilaksanakan menggunakan pendekatan Kerjasama Awam Swasta
(Public Private Partnership) di bawah penyeliaan Unit Kerjasama Awam Swasta, Jabatan Perdana Menteri.
Projek ini dilaksanakan secara request for proposal melalui tender terbuka.
Berasaskan penilaian menyeluruh yang telah dijalankan, penganugerahan kontrak telah dibuat dalam bentuk pemberian surat niat (letter of intent) pada 5 Mei 2026 kepada konsortium yang terdiri daripada konsortium DOM Industries Sdn. Bhd, MMC Engineering Sdn. Bhd., BTS Group Holdings, dan Nylex (Malaysia) Bhd.
Pada dasarnya, pembiayaan projek pada peringkat awal akan ditanggung oleh pihak konsortium yang dilantik. Walau bagaimanapun, hasil penilaian semasa menunjukkan bahawa projek infrastruktur berskala mega ini tidak berdaya maju sekiranya bergantung sepenuhnya kepada pembiayaan pihak swasta. Sehubungan itu, Kerajaan Persekutuan akan menyediakan dana kewangan bagi membiayai kos projek tersebut.
Pada masa ini, kaedah pembiayaan terperinci dan jumlah komitmen kewangan sebenar serta mekanisme pembayaran balik dalam tempoh konsesi adalah di peringkat rundingan dan sedang dimuktamadkan. Terma-terma yang dipersetujui kelak akan diangkat untuk pertimbangan dan kelulusan Jemaah Menteri terlebih dahulu, sebelum perjanjian konsesi ditandatangani. Projek e-ART ini dijangka akan disiapkan dalam tempoh empat dari Surat Setuju Terima dikeluarkan.
Suka saya menegaskan di Dewan yang mulia ini bahawa Kementerian Pengangkutan dengan kerajaan negeri telah merangka pelan penyuraian trafik untuk pengukuhan sistem pengangkutan awam sedia ada. Ini termasuk perkhidmatan seperti berikut.
Yang pertama, program Transformasi Bas Berhenti-henti (SBST). Melalui SBST 2.0, rangkaian perkhidmatan BAS.MY akan diperluaskan kepada 28 laluan melibatkan 254 unit bas. Di mana 157 unit bas dikhususkan untuk laluan JB Sentral dan Bukit Chagar. Fasa ini dijangka dapat dimulakan pada awal tahun 2027. Di samping itu, perkhidmatan RTS shuttle iaitu perkhidmatan bas jarak pendek, berfrekuensi tinggi akan turut diperkenalkan untuk menghubungkan JB Sentral-Bukit Chagar dengan lokasi- lokasi di sekitarnya.
Perkhidmatan DRT, memperkenalkan dan mempertingkatkan sistem pengangkutan responsif permintaan bagi menyediakan akses bantuan pertama dan terakhir yang lebih dinamik dan fleksibel untuk menyuraikan penumpang dari stesen utama.
Yang ketiga, lorong bas. Mewujudkan 16 lorong bas khas, bagi melancarkan pergerakan bas termasuk lorong bas Skudai sejauh 5.6 kilometer, dan lorong bas Tebrau sejauh 10.3 kilometer.
Dan keempat, integrasi perkhidmatan dengan rel KTMB. Perkhidmatan tren elektrik telah dilanjutkan ke Johor Bahru bermula 12 Disember 2025 dengan pengenalan 10 tren baru. Buat masa ini, sebanyak 14 trip sehari disediakan. Termasuk JB Sentral, terdapat sebanyak 10 hentian di sepanjang negeri Johor yang akan membantu menyuraikan trafik daripada RTS Link.
Yang kedua, KTM Komuter Selatan. Kementerian sedang berusaha untuk membuat perolehan bagi 12 set tren komuter selatan sebagai mana yang telah disediakan di sektor utara tanah air menggunakan peruntukan pembangunan.
Sementara menunggu kelulusan, kementerian telah meluncurkan perkhidmatan shuttle selatan Kulai–Kempas–Johor Bahru dan Kempas–Pasir Gudang mulai 16 Jun 2026 dengan kapasiti 14 trip sehari.
Kerajaan negeri bersama Kementerian Pengangkutan telah mengenal pasti 35 lokasi berpotensi di sekitar wilayah Johor Bahru melibatkan tanah kerajaan dan persendirian untuk dijadikan kawasan park and ride, bagi menggalakkan pengguna meletakkan kenderaan peribadi dan beralih ke mod pengangkutan awam. Sekian, terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Ayer Hitam.
Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong - Ayer Hitam
Terima kasih, Menteri kerana menjawab. Saya memang bersependapat bahawa kalau projek besar-besar, monorel, LRT, PUTRA line, STAR line semua gagal. Akhirnya, kerajaan akan ambil alih. Dan untuk kes e-ART ini, oleh kerana dia adalah LOI, satu projek PPP, ia nya akan menjurus kepada konsesi juga.
Sekiranya kerajaan telah bercadang untuk masuk, untuk menanggung sebahagian kos, adakah kerajaan dapat memendekkan tempoh waktu itu terus sebagai penggerak utama dalam projek sebegini ataupun gunakan model Pulau Pinang, LRT Pulau Pinang yang pada awalnya RM46 bilion ditanggung oleh kerajaan negeri tapi akhirnya peruntukan DE, dalam Persekutuan RM16.8 bilion.
Johor ni, pintu masuk utama, untuk pelancong. Adakah keadaan mendesak ini, tidakkah Johor dilihat sebagai satu priority, kalau kerajaan pun sudah bersedia nak melabur RM10 bilion ini?
Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong - Ayer Hitam
Jadi, saya minta pendirian daripada kementerian dan kerajaan. Terima kasih. Bila akan dimulakan E-ART?
Tuan Loke Siew Fook
Terima kasih, Yang Berhormat. Yang Berhormat, saya rasa kita kena objektif dan juga adil dalam penilaian ini. Yang pertamanya, Yang Berhormat Ayer Hitam sendiri pernah menjadi Menteri Pengangkutan selama 31 bulan daripada bulan Mac 2020 hingga Oktober 2022. Projek E-ART ketika itu belum dicadangkan, okey. Saya rasa itu satu fakta yang perlu kita terima.
Projek E-ART ini hanya dimulakan pada tahun 2024 melalui satu surat daripada Kerajaan Negeri Johor bertarikh 23 Mei kerana sebelum itu projek yang dicadangkan oleh Kerajaan Persekutuan untuk penyuraian trafik RTS Link ialah menggunakan BRT, Iskandar Region, BRT. Jadi, kita hanya mengambil alih di peringkat Kementerian Pengangkutan sebab BRT itu adalah di peringkat IRDA yang dilaksanakan oleh IRDA.
Kementerian Ekonomi hanya membatalkan projek itu pada tahun 2024 dan diserahkan kepada Kementerian Pengangkutan untuk dilaksanakan satu sistem baru.
Dan sistem baru yang dicadangkan oleh kerajaan negeri pada bulan Mei 2024 telah pun dipersetujui oleh Kementerian Pengangkutan untuk dilaksanakan.
Jadi, apabila kita ambil alih sudah tentu kita rujuk kepada Jemaah Menteri dan membuat laporan oleh pihak MRT Corp bagaimana dilaksanakan. Jadi, selepas itu, Jemaah Menteri memutuskan supaya projek ini diserahkan kepada UKAS untuk mendapatkan RFT daripada syarikat-syarikat yang berminat.
Jadi, setelah penilaian dibuat ada beberapa syarikat masuk tender tersebut dan mendapati bahawa memang dari segi daya saingnya kurang. Memang kerajaan perlu menampung. Kita tahu kerajaan perlu menampung. Dan peringkat Kementerian Pengangkutan bersedia mengatakan bahawa boleh sebahagiannya, sekurang- kurangnya sebahagiannya menggunakan DE.
Jadi, saya harap Yang Berhormat jangan ada prasangka mengapa Pulau Pinang boleh, Johor tak boleh. Kebanyakan projek DE di bawah Kementerian Pengangkutan― Yang Berhormat sendiri tahu di bawah Kementerian Pengangkutan, projek-projek DE yang paling besar ialah kepada negeri Johor. Daripada RMK12, hampir 70 peratus peruntukan DE di bawah Kementerian Pengangkutan adalah untuk negeri Johor. Yang paling besar landasan kereta api berkembar Gemas ke Johor Bahru RM10 bilion, RTS Link DE, RM6.1 bilion. RM16 bilion DE adalah untuk negeri Johor.
Jadi, kita juga kena seimbang, adil kepada negeri lain. Nanti Sabah pula kata mengapa DE Kementerian Pengangkutan tak pergi Sabah? Kelantan pun ada keperluan untuk DE. Negeri-negeri lain pun ada. Jadi, kita lihat apa mekanisme yang paling besar, yang paling penting boleh dilaksanakan. Tetapi saya tak menolak cadangan daripada Yang Berhormat.
Saya faham Yang Berhormat apa yang dikatakan kita nak percepatkan. Saya pun nak cepat. Saya pun nak cepat bahawa ada satu sistem penyuraian yang baik untuk Johor Bahru. Tetapi sementara kita belum dapat melaksanakan projek itu kerana ia akan mengambil masa beberapa tahun, ada langkah-langkah mitigasi yang lain yang akan dibuat.
Tetapi Yang Berhormat, kita akan mempunyai komitmen bahawa projek ini mesti dijalankan dengan secepat mungkin. Mana-mana satu projek sebesar ini, bayangkan hanya dicadangkan bulan Mei 2024. Kita sekarang ini bulan Jun, bulan Julai 2026. Baru dua tahun dah ada latest intent. Tak ada satu projek sebesar ini Pulau Pinang mengambil masa 30 tahun untuk realisasikan projek LRT ini, dicadangkan tahun 95.
Lepas itu ada Transport Master Plan 2013 baru sekarang dilaksanakan. Jadi, untuk Johor Bahru, kita akan cuba sedaya upaya mempercepatkan dan Kerajaan MADANI sudah tentu akan terus memberikan perhatian yang besar kepada keperluan pengangkutan awam di negeri Johor dan juga di negeri-negeri lain. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Padang Besar.
Tuan Rushdan bin Rusmi - Padang Besar
Terima kasih Puan Yang di-Pertua, terima kasih Yang Berhormat Menteri. Pertamanya, saya ucap tahniahlah kerana persiapan untuk penyuraian trafik di Johor Bahru. Soalan saya, adakah kementerian bercadang untuk meletakkan satu dasar nasional berhubung model pembiayaan projek pengangkutan awam supaya setiap projek PPP ini atau konsesi mempunyai siling tambang jaminan kualiti perkhidmatan dan had liabiliti kerajaan agar manfaatnya dapat nikmati oleh rakyat seluruh Malaysia? Terima kasih.
Tuan Loke Siew Fook
Terima kasih. Memang dari segi tambang itu dikawal oleh kerajaan. Mana-mana projek kalau seperti yang dikatakan tadi projek monorail, projek LRT dan sebagainya kita mengawal tambang. Itu sebabnya apabila kawalan tambang itu diperkenalkan kita nak pastikan pengangkutan awam ini dapat dibiayai, dapat digunakan oleh rakyat. Jadi, tambangnya akan dikawal dengan serendah mungkin.
Tetapi apabila kita kawal tambang, ia menjadikan projek untuk swasta ini tak berdaya saing. Kalau PPP, dia kena ada return of investment mereka.
Jadi, umpamanya melalui PPP ini kebanyakan lebuh raya kita dilaksanakan melalui PPP. Dia ada kadar tol dia. Kadar tol itu telah pun dipersetujui dalam konsesi.
Tetapi dalam kes pengangkutan awam, tambang itu dikawal. Dia tak boleh naik sesuka hati. Malah dalam mana-mana konsesi, tambang itu telah pun dikawal oleh pihak kerajaan melalui Agensi Pengangkutan Awam Darat. Jadi, memang kita kawal tetapi, apabila kita kawal tambang menjadikan projek itu kurang berdaya saing dan perlunya suntikan dana daripada kerajaan.
Hakikatnya, semua projek pengangkutan awam besar termasuklah ECRL, termasuklah LRT di Pulau Pinang, termasuklah projek E-ART ini yang dicadangkan di Johor Bahru dia memerlukan suntikan dana kerajaan. Jadi, itu yang akan dilaksanakan oleh kerajaan dan kita sudah tentu berharap bahawa pengangkutan awam ini terus dapat dirasai oleh rakyat dengan satu kadar tambang yang paling minimum. Jadi, rest assured dan kerajaan sudah tentu akan terus komited memastikan kos pengangkutan awam dapat ditampung oleh rakyat. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Saya jemput Tuan Zakri bin Hassan, Kangar.
Tuan Chong Zhemin - Kampar
Timbalan Speaker, Peraturan Mesyuarat 24(3).
“Tuan Yang di-Pertua boleh membenarkan ahli-ahli mengeluarkan tidak lebih daripada tiga pertanyaan...”.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Saya tidak benarkan.
Sila duduk.
Tuan Chong Zhemin - Kampar
Ya. Sebab ini soalan Johor dan di Johor PAS sudah bagi undi dekat MCA. Jadi, saya harap...
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Yang Berhormat.
Tuan Chong Zhemin - Kampar
...Boleh bagi peluang di sini.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Yang Berhormat.
Tuan Chong Zhemin - Kampar
PAS dengan MCA sudah satu geng.
Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong - Ayer Hitam
Puan Yang di-Pertua, minta tarik balik. Ini kenyataan fitnah.
Tuan Chong Zhemin - Kampar
Itu fakta. PAS sudah...
[Pembesar suara dimatikan]
[Dewan riuh]
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Sila duduk. Saya jemput Tuan Zakri bin Hassan, Kangar.
Seorang Ahli
Sila duduk.
Tuan Zakri bin Hassan - Kangar
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam sejahtera. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Kangar, soalan nombor 2. Terima kasih.
2. Tuan Zakri bin Hassan [Kangar] minta Menteri Kerja Raya menyatakan justifikasi perlaksanaan laluan Smart Lane di beberapa jajaran lebuh raya PLUS mengambil kira keselamatan dan keselesaan penunggang motosikal.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Silakan, Yang Berhormat Menteri Kerja Raya untuk menjawab.
Menteri Kerja Raya - Dato Sri Alexander Nanta Linggi
Terima kasih, Tuan Yang di-Pertua. Terima kasih Yang Berhormat Kangar. Tuan Yang di-Pertua, untuk makluman Ahli Yang Berhormat Kangar, Kementerian Kerja Raya melalui Lembaga Lebuhraya Malaysia sentiasa memberi penekanan mengenai kepentingan aspek keselamatan dalam pengoperasian lebuh raya merangkumi pelaksanaan Smart Lane di lebuh raya bagi menjamin keselamatan dan keselesaan semua pengguna lebuh raya termasuk penunggang motosikal.
Penilaian teknikal akan dilaksanakan terlebih dahulu sebelum Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) membenarkan pengaktifan Smart Lane dilaksanakan oleh syarikat konsesi di satu-satu lokasi tertentu sepanjang lebuh raya. Antara aspek yang dinilai adalah kesesuaian fizikal bagi memastikan lebar lorong kecemasan yang digunakan memenuhi kriteria minimum untuk pergerakan kenderaan ringan dan struktur permukaan jalan sedia ada mampu menampung bebanan trafik semasa Smart Lane diaktifkan. Sekiranya diperlukan, syarikat konsesi akan diminta untuk mengemukakan laporan audit keselamatan jalan raya ya. Jadi, untuk semakan pihak Lembaga Lebuhraya Malaysia sebelum lokasi berkenaan dibenarkan untuk diaktifkan Smart Lane.
Di samping itu, aspek amaran visual mengenai pengaktifan Smart Lane turut diperkukuh melalui pemasangan papan tanda pemberitahuan pada setiap jarak 500 meter dan lampu isyarat hijau bertujuan memaklumkan pengguna mengenai waktu pengaktifan Smart Lane itu bagi memastikan pengguna termasuklah penunggang motosikal peka mengenai zon pengaktifan Smart Lane tersebut. Jadi, lorong kecemasan bukan merupakan laluan eksklusif untuk penunggang motosikal dan sebaliknya boleh diguna pakai untuk kegunaan lain termasuk pengaktifan Smart Lane ya dan tidak terhad kepada kegunaan kecemasan sahaja.
Pelaksanaan Smart Lane di lebuh raya sentiasa dipantau oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia agar mematuhi piawaian keselamatan yang ketat bagi menjamin keselamatan dan keselesaan pengguna lebuh raya termasuklah penunggang motosikal.
Dan berdasarkan pemantauan oleh pihak Lembaga Lebuhraya Malaysia bagi tempoh 2023 hingga kini, inisiatif Smart Lane secara keseluruhannya telah menunjukkan keberkesanan yang tinggi dan berjaya mengurangkan kadar kesesakan trafik antara 30 peratus hingga 50 peratus.
Menteri Kerja Raya - Dato Sri Alexander Nanta Linggi
Dan dari sudut keselamatan, kadar kemalangan di zon lokasi Smart Lane didapati adalah sangat rendah jika dibandingkan dengan jumlah keseluruhan isi padu trafik yang menggunakan laluan berkenaan. Jadi, Kementerian Kerja Raya dan Lembaga Lebuhraya Malaysia turutlah memberi penekanan kepada semua syarikat konsesi untuk memperluas penggunaan kamera litar tertutup (CCTV) ya, yang dilengkapi fungsi kecerdasan buatan (AI) untuk mengesan kepadatan trafik secara masa nyata ataupun real-time. Bagi menyelaraskan aliran trafik dengan lebih efisien termasuklah meningkatkan aspek keselamatan dan keselesaan pengguna di lebuh raya termasuk penunggang motosikal. Sekian, terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Kangar.
Tuan Zakri bin Hassan - Kangar
Terima kasih kepada YB Menteri kerana kewujudan Smart Lane ini banyak membantu mengurangkan kesesakan terutamanya di waktu puncak ataupun di waktu apa, musim-musim cuti dan hujung minggu. Dan kadang-kadang kita ini sebagai pemandu kenderaan dan dalam masa yang lain kadang- kadang kita juga sebagai penunggang motosikal.
Dan apa yang kita dapati, yang saya dapati adalah motosikal kadang-kadang dia tidak ada laluan lain. Dia lorong — hanya mengharapkan lorong laluan kecemasan. Itu sahaja, terutamanya bagi motosikal yang tidak lajulah, kecuali motosikal yang laju dia akan letak— dia akan berada di lorong sebelah kanan terutamanya motosikal berkuasa tinggi dan kadang-kadang berlaku misunderstanding...
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Soalan.
Tuan Zakri bin Hassan - Kangar
...Antara, antara apa, pemandu. Okey, soalan saya yang berkaitan, berapakah jumlah kemalangan yang direkodkan di laluan Smart Lane Lebuhraya Utara-Selatan tahun 2025 dan 2026? Dan apakah pelan jangka panjang kementerian untuk memastikan keselamatan dan keselesaan penunggang motosikal khususnya motosikal berkuasa tinggi di lebuh raya-lebuh raya Malaysia?
Terima kasih.
Dato’ Mohd Isam bin Mohd Isa - Tampin
[Bangun]
Tuan Haji Aminolhuda bin Hassan - Sri Gading
[Bangun]
Dato Sri Alexander Nanta Linggi
Okey, tak ada makluman di sini. Ya, terima kasih Yang Berhormat. Soalannya tadi berapakah jumlah kemalangan ya, direkodkan di laluan Smart Lane ini? Ya, secara umumnya Yang Berhormat, kadar kemalangan direkodkan adalah rendah dan berdasarkan rekod kemalangan, statistik kes kemalangan di laluan Smart Lane melibatkan penunggang motosikal adalah lebih rendah berbanding laluan tanpa Smart Lane.
Jadi, ini disebabkan penunggang motosikal lebih berhati-hatilah kerana berkongsi lorong Smart Lane dengan kenderaan lain. Berdasarkan rekod, hanya rekod terkini, hanya 36 kemalangan yang direkodkan berlaku di 12 lokasi Smart Lane yang diaktifkan pada hari bekerja sepanjang masa, Januari hingga Mei tahun 2026 ini. Jadi, majoritinya kes yang direkodkan ini pula hanyalah melibatkan kemalangan kecil seperti kejadian calar atau geselan kenderaan sahaja.
Jadi, hasil analisis menunjukkan bahawa punca utama kemalangan di zon ini berpunca daripada sikap penggunalah ya, yang gagal mematuhi arahan seperti menggunakan lorong kecemasan sebelum zon Smart Lane. Jadi, bermula atau selepas zon tersebut tamat.
Jadi, faktor lain yang turut menyumbang ialah tindakan menukar lorong secara berbahayalah tanpa memberikan lampu isyarat dan atau tanpa memastikan jarak selamat yang mencukupi serta tindakan segelintir pemandu yang memberhentikan kenderaan di laluan Smart Lane tanpa sebarang kes kecemasan yang sahih lah. Jadi, sekali gus menghalang kelancaran aliran trafik. Jadi, itulah sebabnya berlaku apa, kemalangan di Smart Lane itu. Jadi, angkanya rendah, Yang Berhormat. Jadi...
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Ringkaskan jawapan, Yang Berhormat.
Dato Sri Alexander Nanta Linggi
Ringkaskan jawapan, okey. Saya hendak— sebab ini untuk pengetahuan kita semua lah sebab ini penting. Okey, kalau setakat itu saya dah menjawab dah. Jangka panjangnya memang kita berkehendak ada lorong khaslah tetapi itu menggunakan belanja yang lebih besar apabila kita membinakan satu jalan. Jadi, itu terpulang sangatlah kepada keperluan.
Jadi, yang penting sedikit lagi Tuan Yang di-Pertua, untuk makluman Yang Berhormat ini, LLM telah menetapkan agar syarikat konsesi melantik juruaudit keselamatan jalan raya bebas untuk melaksanakan Audit Keselamatan Jalan Raya peringkat lima atau Operational Stage Safety Audit sekali setiap lima tahun.
Dan skop audit ini berkenaan turut mengambil kira penilaian terhadap aspek keselamatan dalam pelaksanaan Smart Lane dan ia nya tidak terhadlah kepada penunggang motosikal sahaja ya. Jadi, tindakan penambahbaikan akan diambil selaras dengan penemuan audit bagi mengurangkan risiko berlakunya kemalangan. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Tampin.
Dato’ Mohd Isam bin Mohd Isa - Tampin
Terima kasih Puan Yang di-Pertua.
Yang Berhormat Menteri, suka tidak suka, mahu tidak mahu, usaha kementerian menerusi Smart Lane dalam mengurangkan kesesakan hanyalah bersifat sementara.
Saya setiap pagi Isnin daripada Tampin akan menghadapi kesesakan yang teruk daripada Nilai hingga ke Sungai Besi.
Kesesakan di lebuh raya dijangka akan terus meningkat seiring dengan pertambahan jumlah kenderaan setiap tahun. Soalan saya, sejauh manakah keberkesanan pelaksanaan Smart Lane setakat ini dan dijangka akan kekal relevan untuk tempoh beberapa tahun lagi serta apakah perancangan jangka panjang kementerian bagi menguruskan isu kesesakan khususnya di Lebuhraya PLUS yang tidak perlu menunggu musim perayaan ataupun cuti yang panjang? Terima kasih Puan Yang di-Pertua.
Dato Sri Alexander Nanta Linggi
Tuan Yang di-Pertua, soalan awal tadi memang saya telah jawab dalam jawapan asal tadi ya. Dengan adanya kita mengaktifkan Smart Lane ini sudah tentulah dalam apa penemuan kita banyak membantu dalam mengurangkan kemalangan ya. Jadi, yang ditanya itu, jadi sejauh manakah Smart Lane itu berkesan? Memang dia berkesan, telah saya sebut tadi.
Untuk jangka panjang ataupun cadangan daripada Yang Berhormat tadi, supaya syarikat konsesi seperti PLUS mengadakan sepanjang tahun. Tak menunggu semasa perayaan dan sebagainya untuk memantau dan memastikan pengurusan supaya sepanjang jajaran lebuh raya itu dipantau untuk mengelakkan kesesakan.
Memang ini sudah jadi apa, SOP lah, standard operating procedure untuk SOP, untuk— daripada PLUS ya. Jadi, mereka sentiasa mencari ruang dan peluang untuk menambahbaikkan untuk kita menangani masalah kesesakan jalan raya ini, bukan hanya semasa perayaan sahaja. Sekian, terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Saya jemput Datuk Ir. Shahelmey bin Yahya, Putatan.
Datuk Ir. Shahelmey bin Yahya - Putatan
Terima kasih Puan Yang di-Pertua.
Soalan saya nombor 3.
3. Datuk Ir. Shahelmey bin Yahya [Putatan] minta Menteri Kesihatan menyatakan bagaimana dasar pelarasan fiskal kerajaan yang melibatkan cadangan pemotongan perbelanjaan bagi sektor kesihatan awam tidak menjejaskan ekosistem penyampaian perkhidmatan serta kemajuan pembangunan fasiliti kesihatan di seluruh negeri Sabah.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Yang Berhormat Menteri Kesihatan.
Menteri Kesihatan - Datuk Seri Haji Dr. Dzulkefly bin Ahmad
Terima kasih Puan Yang di-Pertua. Terima kasih Yang Berhormat Putatan. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam sejahtera, salam Malaysia MADANI semuanya.
Puan Yang di-Pertua, meskipun suasana konflik Asia Barat mutakhir ini semakin reda, cabaran ketidaktentuan geopolitik dan juga global ekonomi yang mencabar menuntut supaya Kerajaan MADANI ya, mengambil langkah-langkah berhemah dalam hal fiskal dan tentunya menjadi tanggungjawab semua kementerian termasuk Kesihatan untuk mengisi ataupun mengambil langkah-langkah tersebut.
Sehubungan dengan itu, Kementerian Kewangan telah mengeluarkan satu surat bertarikh 29 April 2026 yang meminta agar semua kementerian meneliti semula Anggaran Perbelanjaan Tahun 2026 ya. Dan dalam hal ini, KKM pun telah mengkaji dan telah mengambil kira antara lainnya memperhitungkan pengoperasian fasiliti kesihatan, komitmen kontraktual kami, stok bekalan ubat, unjuran pengambilan dan pengisian perjawatan, pengoperasian fasiliti dan juga pelaksanaan inisiatif baharu.
Dan setelah kita mengambil perhitungan semua faktor-faktor ini dan dalam rangka memastikan rakyat menerima perkhidmatan, hal yang terkait dengan pemeriksaan rawatan serta penjagaan kesihatan terbaik, maka KKM telah mengemukakan cadangan sekatan berjumlah RM500 juta kepada pihak MOF untuk dipertimbangkan. Dan ini adalah jumlah jauh lebih rendah berbanding cadangan asal berdasarkan surat Kementerian Kewangan yang berjumlah RM3.06 bilion.
Menteri Kesihatan - Datuk Seri Haji Dr. Dzulkefly bin Ahmad
Puan Yang di-Pertua, kalau boleh saya sebutkan, mustahak untuk saya tegaskan bahawa pelarasan ini tidak melibatkan sebarang sekatan atas hal peruntukan pengoperasian, juga tidak melibatkan peruntukan pembangunan, juga tidak melibatkan elaun tugasan kakitangan, program latihan ataupun penangguhan pembelian aset perubatan bukan kritikal, ya. Hal demikian adalah kerana KKM merancang semula perbelanjaan dengan menekankan perbelanjaan yang berhemah serta mengoptimumkan sumber kewangan kami.
Suka saya menyebutkan, KKM ingin menjelaskan bahawa waran sekatan peruntukan mengurus yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan (MOF) pada 5 Jun adalah berjumlah RM500 juta, seperti yang dipohon, yang hanya kurang lebih 1.07 peratus daripada peruntukan yang diberikan kepada kami tahun ini sebanyak RM46.52 bilion.
Puan Yang di-Pertua, justeru, saya ingin tekankan— saya telah juga— mustahak untuk saya sukacita memaklumkan MOF telah bersetuju dengan waran sekatan itu dan ini memastikan bahawa Kerajaan MADANI sentiasa memberikan keutamaan kepada sektor kesihatan demi memastikan rakyat mendapat perkhidmatan penjagaan dan rawatan kesihatan terbaik.
Puan Yang di-Pertua, terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Putatan.
Datuk Ir. Shahelmey bin Yahya - Putatan
Terima kasih, Yang Berhormat Menteri. Peningkatan kadar bayaran premium insurans kesihatan yang berlaku pada hari ini dikhuatiri akan mendorong lebih ramai pengguna produk insurans kesihatan untuk beralih kepada pilihan perkhidmatan kesihatan awam.
Soalan tambahan Putatan. Pertama, sejauh manakah rangkaian perkhidmatan kesihatan awam benar-benar bersedia untuk berdepan dengan senario tersebut?
Terutamanya dalam konteks negeri Sabah yang berdepan dengan pelbagai cabaran termasuk ketidakcukupan kakitangan. Malah, pada beberapa hari yang lalu, viral di media sosial posting berkenaan dengan kesesakan di Wad Kecemasan Hospital Queen Elizabeth di Kota Kinabalu.
Kedua, dalam keadaan hospital swasta berdepan dengan inflasi perubatan, bagaimanakah KKM dapat membangunkan mekanisme perkongsian kos yang melibatkan kerjasama awam-swasta seperti yang digariskan dalam strategi D3.1 Rancangan Malaysia Ketiga Belas?
Datuk Seri Haji Dr. Dzulkefly bin Ahmad
Terima kasih Yang Berhormat Putatan yang saya kira sedikit lari daripada tajuk asal, Puan Yang di-Pertua. Tapi, tak apa, saya cuba untuk memberikan sedikit pencerahan ya.
Kita sedia maklum tentang inflasi kos di pihak kesihatan swasta. Justeru dengan itu, kerjasama dengan sahabat saya Menteri Kewangan II, MOF, bersama dengan KKM, Puan Yang di-Pertua, bersekali dengan Bank Negara Malaysia (BNM) dengan apa yang kita istilahkan sebagai Jawatankuasa Bersama Menteri bagi Kos Penjagaan Kesihatan Swasta. Kita menubuhkan JBMKKS ini, yang mana antara lainnya adalah untuk menangani kos inflasi di sektor-sektor kesihatan swasta, the private sectors.
Puan Yang di-Pertua, mustahak untuk saya tekankan antara lainnya adalah kami mengemukakan program yang dinamakan RESET. RESET yang sekali gus terus menangani perkara yang dibangkitkan oleh YB Putatan tadi, hal yang terkait dengan kenaikan premium insurans yang mana kita terus merumuskan.
Dan, sebagai respons kepada perkara ini, mengemukakan satu cadangan yang dikatakan sebagai mengemukakan insurans asas ataupun asas MHIT atau base MHIT dengan maksud medical health insurance takaful (MHIT) product yang mana kalau boleh saya sebutkan ringkasnya, ia adalah satu pelan perlindungan kesihatan asas yang mana ia mudah, ia mampu dimiliki dan memberikan perlindungan penting.
Dan produk itu tidak rumit, yang bakal kita buat soft launching dalam bulan Julai di Lembah Klang, beberapa hospital dan, insya-Allah, the full launching sepertimana yang telah dijelaskan oleh sahabat saya Menteri Kewangan II semalam atau sebelum itu, akan kita lancarkan seluruhnya pada tahun 2027, Januari, tak silap saya.
Mustahak dengan itu juga, saya sebutkan antara lainnya bagi menangani peningkatan kos kesihatan swasta ini, kita telah memperkenalkan apa yang diistilahkan sebagai satu sistem yang dikatakan sistem pembayaran atau payment penanda aras yang akan terus menjadi penanda aras, satu standardisation, dengan izin, satu piawaian seluruh negara.
Hospital-hospital, termasuklah akhirnya hospital awam juga, hospital tentera, hospital swasta, universities, yang mana sistem ini akan menjadi satu sistem yang akan mampu meletakkan satu piawaian yang mana diagnosis-related groups (DRG) ini akan memberikan satu kawalan dan standardisation pada sistem pembayaran perkhidmatan ataupun remuneration system. Puan Yang di-Pertua, saya pastinya memerlukan masa untuk mensyarahkan lagi perkara ini. Tetapi, apa pun, yang mustahaknya, Jawatankuasa Bersama Menteri Kos Kesihatan Swasta (JBMKKS) telah menghasilkan dua perkara. Satu adalah asas perlindungan MHIT; dan kedua, untuk menangani yang dikatakan kos yang sedikit menjadi cabaran dalam pihak swasta, lalu kita memperkenalkan apa yang dikatakan sebagai DRG sebagai satu sistem pembayaran penanda aras yang telus bagi menguruskan caj hospital swasta di seluruh negara, akhirnya juga termasuk hospital tentera, hospital awam dan juga hospital universiti.
Puan Yang di-Pertua, terima kasih. Terima kasih, Putatan.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Kuala Krai.
Tuan Haji Abdul Latiff bin Abdul Rahman - Kuala Krai
Terima kasih, Yang Berhormat Yang di-Pertua. Kerajaan dan Yang Berhormat Menteri sendiri telah memberi jaminan bahawa dasar pelarasan fiskal tidak akan menjejaskan sektor kesihatan.
Namun, adakah pengurangan dan pelarasan fiskal tersebut akan dilaksanakan secara seragam antara hospital kawasan bandar dan luar bandar? Atau kerajaan akan memberi jaminan bahawa fasiliti kesihatan di luar bandar yang masih jauh ketinggalan tidak akan menjadi mangsa pengurangan peruntukan.
Selain itu, adakah kerajaan bersedia menetapkan dasar bahawa sebarang langkah penjimatan fiskal tidak boleh sama sekali melibatkan peruntukan pembangunan dan naik taraf fasiliti kesihatan asas memandangkan kelewatan pembangunan hanya akan meningkatkan kos penyelenggaraan pada masa hadapan serta menjejaskan keselamatan dan kualiti rawatan pesakit.
Terima kasih, Yang di-Pertua.
Datuk Seri Haji Dr. Dzulkefly bin Ahmad
Terima kasih, Yang Berhormat Kuala Krai. Pastinya, kalau Kuala Krai telah mendengar apa yang telah saya sebutkan, bahawa sekatan ataupun apa yang dikatakan sebagai pelarasan sekatan ini langsung tidak menyinggung dan terkait dengan hal yang terkait dengan perkhidmatan dan yang lainnya.
Hanya yang dimaksudkan adalah dengan apa yang― hari ini kalau boleh saya sebutkan dengan lebih jelas, waran sekatan peruntukan RM500 juta itu bukannya seperti yang digembar-gemburkan oleh banyak pihak di luar sana seolah-olah macam, sepertimana yang Kuala Krai bimbang, ia akan menjejaskan perkhidmatan di hospital- hospital khasnya di luar bandar.
Apa yang ditegaskan atau perlu saya tegaskan, waran sekatan ini sebenarnya merupakan pelarasan teknikal ke atas peruntukan lebihan dan ia tidak termasuk 18,641 perjawatan daripada 50,000 perjawatan yang telah diluluskan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam untuk KKM bagi tahun 2026. Dia hanya terkait dengan peruntukan yang diberi atas perjawatan yang mana daripada saving ataupun peruntukan yang telah diberikan 50,000 itu, hanya 18,641 perjawatan yang telah diluluskan dan itu merupakan peluang untuk diambil daripada peruntukan tersebut. Jadi, tidak diambil daripada apa pun peruntukan yang terkait dengan sama ada pengoperasian, perkhidmatan, pembelian, jawatan ataupun yang lain, ya.
Jadi, di situ yang saya ingin tegaskan bahawa pelarasan waran sekatan itu hanya terkait dengan apa yang diistilahkan sebagai perjawatan lebihan daripada 18,641. Jadi, itu adalah satu yang memang peluang untuk— memang tidak dapat isi pun. Kalaupun kita tawarkan lebih daripada 18,641, ia body-nya tak ada. Orangnya tak ada.
Datuk Seri Haji Dr. Dzulkefly bin Ahmad
Jadi, itulah— di situ lah yang kita dapat selamatkan untuk kita jimat RM500 juta yang telah diberikan dalam RM50,000 asal kelulusan perjawatan yang diberikan. Terima kasih, Puan Yang di-Pertua.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Saya jemput Dato’ Dr. Ahmad Yunus bin Hairi, Kuala Langat.
Dato’ Dr. Ahmad Yunus bin Hairi - Kuala Langat
Terima kasih Tuan Speaker.
Soalan saya nombor 4.
4. Dato' Dr. Ahmad Yunus bin Hairi [Kuala Langat] minta Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam menyatakan:
(a) apakah tindakan penguatkuasaan yang telah diambil oleh kementerian terhadap pengusaha ternakan babi secara tradisional yang didapati menyebabkan pencemaran saliran, bau dan gangguan kepada penduduk sekitar Tanjung Sepat; dan
(b) apakah tindakan pemulihan pencemaran sungai dan pantai di kawasan tersebut.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Silakan Yang Berhormat Menteri.
Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam - Tuan Syed Ibrahim bin Syed Noh
Terima kasih kepada Yang di-Pertua. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih kepada Yang Berhormat Kuala Langat yang juga bekas Exco Kerajaan Negeri Selangor atas keprihatinan Yang Berhormat terhadap isu pencemaran alam sekitar yang dikaitkan dengan aktiviti ternakan babi secara tradisional di kawasan Tanjung Sepat.
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, aktiviti penternakan babi di negeri Selangor adalah tertakluk di bawah Enakmen Penternakan Babi negeri Selangor 1991.
Sehubungan itu, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Negeri Selangor selaku pihak berkuasa melulus, bertanggungjawab untuk mengawal selia, mengeluarkan lesen serta melaksanakan penguatkuasaan ke atas ladang-ladang penternakan bagi memastikan pengusaha mematuhi syarat lesen, garis panduan penternakan moden dan keperluan perlindungan alam sekitar.
Segala tindakan penguatkuasaan dan pengurusan ladang dilaksanakan selaras dengan Enakmen Penternakan Babi Negeri Selangor 1991, mana-mana pengusaha yang gagal untuk mematuhi syarat lesen atau didapati menyebabkan pencemaran dan gangguan kepada orang awam boleh dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa negeri mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Dari perspektif Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) pula, penyediaan laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling ataupun Environmental Impact Assessment (EIA) hanya diwajibkan bagi pembukaan kawasan baharu penternakan babi yang melibatkan 2,000 populasi babi dirian atau lebih sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Perintah Kualiti Alam Sekeliling (Aktiviti Yang Ditetapkan)
(Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling) 2015. Oleh itu, ladang-ladang sedia ada di Tanjung Sepat tidak tertakluk kepada keperluan penyediaan laporan EIA tersebut kerana telah beroperasi sebelum Perintah EIA ini dilaksanakan.
Walau bagaimanapun, kelulusan laporan EIA bukanlah kelulusan melaksanakan sesuatu projek pembangunan. Sebaliknya ia nya merupakan pengesahan bahawa aspek perlindungan alam sekitar telah dinilai dan memenuhi keperluan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 [Akta 127]. Keputusan untuk meluluskan sesuatu pembangunan masih tertakluk kepada pertimbangan pihak berkuasa melulus berdasarkan undang-undang dan syarat-syarat lain yang berkaitan.
Berhubung aspek penguatkuasaan alam sekitar, perlu dijelaskan bahawa aktiviti penternakan babi secara khusus tidak tertakluk di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974. Walau bagaimanapun, NRES melalui Jabatan Alam Sekitar (JAS) sentiasa mengambil serius setiap aduan berkaitan dengan pencemaran alam sekitar dengan menjalankan siasatan dan menyelaraskan tindakan lanjut bersama pihak berkuasa yang berkaitan mengikut bidang kuasa masing-masing.
JAS juga akan bekerjasama dengan semua agensi yang berkaitan untuk menjalankan pemeriksaan di lapangan berdasarkan maklumat risikan atau aduan pencemaran terutama apabila punca pencemaran masih belum dikenal pasti. Dalam kes ini sebenarnya puncanya telah dikenal pasti. NRES dan JAS juga sentiasa bersedia dan komited untuk memberikan kerjasama serta bantuan teknikal kepada pihak kerajaan negeri dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar dalam memantau kualiti air sungai di kawasan yang terkesan.
Sebab itu bagi langkah pemulihan pencemaran sungai dan pantai di kawasan Tanjung Sepat, kerajaan negeri dengan kerjasama NRES serta agensi-agensi berkaitan perlu terus memperkukuh usaha pemulihan. Dalam hal ini Yang di-Pertua, antara tindakan jangka panjang yang sedang dan akan dilaksanakan oleh NRES melalui JAS adalah seperti berikut:
(i) memperkukuh penguatkuasaan terhadap punca-punca pencemaran yang tertakluk di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling termasuk tindakan tegas terhadap premis yang melanggar piawaian pelepasan;
(ii) melaksanakan operasi bersepadu bersama agensi berkaitan untuk mencegah, mengesan, menyiasat kes-kes pencemaran;
(iii) mempergiat penguatkuasaan secara bersasar di kawasan yang berisiko tinggi khususnya di hulu takat pengambilan air dan lokasi yang dikenal pasti sebagai penyumbang utama beban pencemaran; dan
(iv) memperkasa program pengawasan kualiti air sungai melalui perluasan rangkaian stesen pemantauan serta penggunaan teknologi terkini seperti dron dan penderiaan jauh ataupun remote sensing.
Insya-Allah, kementerian akan terus bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Selangor bagi memastikan isu ini ditangani secara tuntas demi kesejahteraan penduduk sekitar Tanjung Sepat. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Kuala Langat.
Dato’ Dr. Ahmad Yunus bin Hairi - Kuala Langat
Terima kasih Tuan Speaker.
Terima kasih Menteri. Saya melihat ladang ternakan babi secara tradisional di Tanjung Sepat sepatutnya ditutup pada Julai— mulai Julai ini, maknanya tak ada lah ladang babi secara tradisional. Dan, ini komitmen daripada kerajaan negeri setelah Titah Duli Yang Maha Mulia Tuanku supaya tidak ada ladang ternakan babi tradisional di negeri Selangor.
Isu pencemaran ini saya ingat bukan berlaku di negeri Selangor sahaja, di beberapa kawasan-kawasan lain, di dalam negara kita juga berlaku dan saya tengok kalau di Tanjung Sepat...
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Soalan.
Dato’ Dr. Ahmad Yunus bin Hairi - Kuala Langat
Lawatan yang terakhir saya itu, masa kolam-kolam takungan rawatan ini masih dibiarkan begitu sahaja. Adakah pihak kementerian mungkin secara bersepadu ada usaha untuk memantau kawasan- kawasan ternakan tradisional ini bukan sahaja seperti yang disebutkan tadi, apabila ada aduan, ada tindakan-tindakan, makna tindakan lebih reaktif dalam isu pencemaran ini?
Dan adakah kaedah ternakan secara moden ini, ini adalah menjamin bahawa bebas daripada pencemaran yang berlaku disebabkan oleh ternakan khinzir ini? Terima kasih.
Dato Dr. Richard Rapu @ Aman anak Begri - Betong
[Bangun]
Dato’ Haji Adnan bin Haji Abu Hassan - Kuala Pilah
[Bangun]
Tuan Syed Ibrahim bin Syed Noh
Terima kasih Yang Berhormat Kuala Langat atas soalan tambahan tersebut. Pertama berkaitan dengan kolam-kolam ya yang masih lagi ada, yang masih lagi wujud walaupun lesen kepada penternak-penternak ini telah pun diberhentikan bermula pada 1 Julai baru-baru ini.
Jadi, dari segi tindakan yang dilakukan, ia nya masih lagi di bawah bidang kuasa kerajaan negeri, di bawah jabatan yang berkenaan. Sekiranya ada aduan-aduan yang berkaitan dengan pencemaran secara khusus, kita boleh bekerjasama dengan pihak negeri untuk memastikan supaya semua ini, perkara ini dapat dihentikan.
Dalam konteks itu, di peringkat kementerian khususnya dari segi tindakan- tindakan bersepadu sepertimana yang Yang Berhormat sebut tadi, kita ada beberapa perkara yang kita lakukan secara bersama. Iaitu pertama ialah penguatkuasaan perundangan alam sekitar. Yang ini secara kita lakukan secara berkala terhadap punca- punca pencemaran yang mana ia tertakluk di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) dan kita ambil tindakan tegas kepada premis-premis yang gagal untuk mematuhi standard pelepasan tersebut.
Yang kedua, kita ada pelaksana operasi bersepadu. Yang ini kita tingkatkan operasi secara bersepadu dengan agensi-agensi tadi. Antaranya kita juga ada platform dengan Jawatankuasa Alam Sekitar di peringkat kebangsaan seperti Majlis Air Negara, Jawatankuasa Khas Kemerosotan Kualiti Air negara (JKKAS), Mesyuarat Menteri- menteri Alam Sekitar dan Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang bertanggungjawab mengenai alam sekitar iaitu MEXCOE, di peringkat negeri juga Jawatankuasa Pasukan Petugas Bertindak yang dipengerusikan oleh YB Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Exco berkaitan dengan alam sekitar.
Jadi, maknanya ini adalah tempat-tempatnya di mana kita boleh melihat dan mengenal pasti apakah bidang kuasa masing-masing dan apakah tindakan yang boleh kita lakukan di peringkat masing-masing. Kita juga ada penguatkuasaan secara bersasar. Maknanya, kalau ada punca-punca yang kita kenal pasti sebagai merbahaya ataupun ada risiko yang besar, terutama di hulu takat pengambilan air, maka kita boleh juga ambil tindakan dan kita mengeluarkan laporan kualiti air sungai secara bulanan.
Yang seterusnya, adalah semakan peraturan...
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Ringkaskan jawapan.
Tuan Syed Ibrahim bin Syed Noh
Bagi kawalan pencemaran air. Dan, akhir sekali ada juga semakan terhadap standard air, program pengawasan kualiti air sungai.
Ringkasnya, saya nak sebutkan begini Yang Berhormat, dari segi tindakan kita lah— sementara kita sebenarnya menghormati hak pengusaha-pengusaha ternakan ini, mereka jalankan usaha, mereka ada ekonomi. Tetapi pada masa yang sama mesti mengikut lunas undang-undang. Jadi, kita tak berkompromi dengan sebarang bentuk pencemaran alam sekitar.
Tindakan penguatkuasaan kita kena laksanakan secara tegas mengikut peruntukan undang-undang dan mesti ada bukti dan penilaian yang saintifik. Pada masa yang sama tanggungjawab memelihara alam sekitar ini adalah tanggungjawab semua.
Bukan hanya kerajaan tetapi semua pihak pemain industri, penternak, pengusaha, agensi kerajaan mesti peranan mereka memastikan supaya tidak berlaku pencemaran kerana akhirnya Tuan Yang di-Pertua, matlamat kita adalah untuk kita nak melindungi kesejahteraan rakyat. Kita nak memelihara kesihatan awam dan kita nak memastikan kelestarian alam. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Betong.
Dato Dr. Richard Rapu @ Aman anak Begri - Betong
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Pencemaran yang berpunca daripada penternakan tradisional bukan lagi isu terpencil tetapi memang sentiasa berulang di beberapa negeri. Jadi soalan saya, apakah kementerian bercadang menggubal satu dasar nasional bagi pengurusan ternakan yang berimpak tinggi yang akan menetapkan piawaian minimum pengurusan sisa, sistem rawatan efluen dan juga zon penempatan penternakan bagi kita mengelakkan isu pencemaran ini berulang di seluruh negara. Sekian, terima kasih.
Terima kasih Puan Yang di-Pertua.
Tuan Syed Ibrahim bin Syed Noh
Terima kasih soalan tambahan daripada rakan saya, seorang doktor veterinar daripada Betong. Sebenarnya, dalam konteks kita nak melihat ke depan, saya faham maksudnya. Kita mesti ada satu pandangan ke depan tentang jangka masa panjang.
Justeru, tindakan-tindakan untuk mewujudkan cara penternakan moden yang tidak mencemar alam sekeliling, kita sangat alu-alukan. Malah, kita percaya memang ada perkara-perkara yang kita boleh perkukuhkan lagi dari segi penilaian alam sekitar, contohnya EIA, dari segi SIA (social impact assessment). Perkara-perkara begini sudah pasti mesti menjadi perhatian kepada pihak kerajaan, terutamanya apabila sudah berlaku insiden yang begini.
Walaupun kita faham Yang di-Pertua, sebenarnya dari segi insiden ini, dia berlaku dahulu. Ia adalah penternakan tradisional tetapi bila kita maju ke depan, penternakan moden, bermakna kita sudah patutnya ambil pengajaran. Dan kita pastikan supaya peruntukan undang-undangnya ada, cara-cara kaedah moden itu dilakukan dan kajian-kajian dibuat. Supaya akhirnya, kita mendapat ekonominya okey, baik tetapi tidak mencemar dari segi alam sekitar. Terima kasih.
[Timbalan Yang di-Pertua (Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor)
mempengerusikan Mesyuarat] Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
[Membaca doa] Bismillahirahmanirahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan selamat pagi lagi. Sesi jawapan lisan diteruskan. Dipersilakan Tuan Haji Azli bin Yusof, Yang Berhormat Shah Alam.
Tuan Haji Azli bin Yusof - Shah Alam
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Soalan saya nombor 5.
5. Tuan Haji Azli bin Yusof [Shah Alam] minta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri menyatakan perkembangan dan pencapaian terkini NIMP 2030, jumlah pelaburan yang telah direalisasikan berbanding jumlah yang diluluskan sejak pelancarannya pada September 2023.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Dipersilakan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri untuk menjawab.
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri - Tuan Sim Tze Tzin
Terima kasih Dato’ Timbalan Yang di-Pertua. Untuk menjawab sahabat saya daripada Shah Alam. Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) yang diluncurkan pada 1 September 2023, telah menetapkan tiga sasaran utama menjelang tahun 2030.
Nombor satu, nilai tambah sektor pembuatan dijangka mencecah RM587.5 bilion, didorong oleh sektor berimpak tinggi iaitu E&E, kimia, aeroangkasa, farmaseutikal dan peranti perubatan serta bidang berpotensi baharu iaitu bahan termaju (advanced material), kenderaan elektrik (EV), tenaga boleh diperbaharui (RE) dan pemerangkapan dan penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS).
Kedua, jumlah pekerjaan dijangka meningkat kepada RM3.3 juta, selari dengan pertumbuhan industri bernilai tambah tinggi.
Ketiga, gaji penengah sektor pembuatan dijangka meningkat kepada RM4,510, hasil peningkatan produktiviti dan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.
Setelah dua tahun pelaksanaan NIMP atau New Industrial Master Plan 2030, sektor pembuatan terus menunjukkan pencapaian positif seperti berikut. Nilai tambah KDNK sektor pembuatan mencatat peningkatan 5.9 peratus iaitu RM5.6 bilion pada suku pertama 2026. Ini adalah lebih tinggi daripada KDNK negara secara purata iaitu peningkatan kepada RM101.3 bilion berbanding dengan RM95.7 bilion pada tempoh yang sama tahun lalu.
Sektor E&E (electrical and electronic) terus menjadi pemacu utama pertumbuhan. Disokong oleh kitaran peningkatan permintaan teknologi global serta peningkatan pengeluaran semikonduktor. Selain itu, subsektor produk petroleum bertapis turut mencatat sumbangan nilai ditambah kedua tertinggi berikutan kadar penggunaan kapasiti yang lebih tinggi. Manakala segmen bahan kimia dan produk kimia berkembang, selaras dengan pengukuhan permintaan industri.
Bilangan guna tenaga sektor pembuatan mengalami peningkatan marginal sebanyak 0.04 peratus iaitu 1,000 orang pada suku pertama 2026 kepada RM2.835 juta berbanding RM2.834 juta pada tempoh yang sama pada tahun yang lalu. Gaji penengah
(median wage) dalam sektor pembuatan meningkat daripada RM2,659 kepada pada tahun 2024 kepada RM2,775 pada tahun 2025, mencatat pertumbuhan sebanyak 4.4 peratus. Peningkatan dalam kadar upah ini adalah selari dengan pertumbuhan sektor tersebut yang menawarkan pekerjaan berkemahiran tinggi.
Tuan Yang di-Pertua, dari segi pelaburan, sebanyak 3,847 projek pelaburan dalam sektor perkilangan telah diluluskan dari 2023 hingga Mac 2026 dengan jumlah pelaburan bernilai RM427.9 bilion. Ini adalah rekod yang tertinggi dalam sejarah dalam negara kita dan mungkin ini adalah–– ramai yang telah menyumbang kadar itu, daripada Kerajaan Pusat sampai ke kerajaan negeri.
Tetapi usaha Yang Amat Berhormat Tambun ini tidak boleh— kita harus menghargai Yang Amat Berhormat Perdana Menteri kita yang mendapatkan pelaburan yang begitu tinggi daripada luar negara dan dijangka menjana 302,058 peluang pekerjaan baharu.
Pelaburan ini meliputi sektor electrical dan elektronik, jentera dan peralatan, peralatan pengangkutan, bahan kimia dan produk logam yang mana merupakan sektor- sektor strategik di bawah NIMP 2030. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 2,688 projek iaitu 69.9 peratus dengan pelaburan diluluskan bernilai RM318.5 bilion telah pun berjaya direalisasikan dari 2023 hingga Disember 2025. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Terima kasih Yang Berhormat Menteri. Silakan Yang Berhormat Shah Alam, soalan selanjutnya.
Tuan Haji Azli bin Yusof - Shah Alam
Terima kasih Dato' Yang di-Pertua.
Terima kasih Yang Berhormat Menteri di atas jawapan yang sangat terperinci itu tadi.
Soalan lanjutan saya ialah kita tahu bahawa masih ada lagi bahagian yang belum dapat direalisasikan. Oleh itu saya ingin bertanya, apakah faktor utama yang menyebabkan pelaburan yang telah diluluskan ini masih belum dapat direalisasikan lagi? Adakah kerana disebabkan oleh faktor birokrasi seperti isu tanah, utiliti ataupun tenaga mahir ataupun kelulusan agensi atau faktor geopolitik ataupun faktor-faktor yang lain?
Dan di antara sektor yang terlibat yang menyumbang kepada kenaikan pelaburan ini, sektor manakah yang menunjukkan kadar realisasi tertinggi dan sektor manakah yang masih lagi memerlukan intervensi? Terima kasih Dato' Yang di-Pertua.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Silakan Yang Berhormat Menteri.
Tuan Sim Tze Tzin
Terima kasih. Suka untuk saya berkongsi data yang lebih terperinci bagi memberikan gambaran yang lebih menyeluruh dan objektif mengenai prestasi semasa kita. Meskipun kadar pelaburan yang telah direalisasikan sepenuhnya bagi pelaburan yang diluluskan bagi tempoh 2023 hingga Mac 2026 setakat ini berada pada 69.9 peratus yang melibatkan 2,688 projek.
Tuan Sim Tze Tzin
Terdapat baki sebanyak 28 peratus lagi pelaburan yang kini aktif dalam peringkat awal pelaksanaan iaitu initial stage of implementation. Peringkat awal ini melibatkan 1,076 projek dengan nilai pelaburan RM101.1 bilion. Projek-projek ini sedang aktif dilaksanakan merangkumi aktiviti kritikal seperti perancangan tapak, permohonan pelan bangunan, urusan pendaftaran serta fasa awal pembinaan kemudahan.
Ini bermakna, jika kita menggabungkan unjuran projek yang telah direalisasikan dan yang sedang dalam proses pelaksanaan, komitmen pelabur secara keseluruhannya adalah sangat tinggi iaitu mencecah 97.9 peratus daripada keseluruhan projek yang diluluskan. Sebaliknya, hanya sebahagian kecil sahaja iaitu 2.2 percent, 83 projek pelaburan yang berada dalam kategori belum atau tidak dilaksanakan. Seperti yang telah saya jelaskan sebelum ini, peratusan yang sangat kecil ini kebiasaannya berpunca daripada faktor luaran terutamanya akibat perubahan strategi perniagaan global oleh syarikat pelabur itu sendiri, the corporate strategic realignment. Prestasi ini adalah amat baik dan membanggakan. Kita perlu mengambil kira realiti industri perkilangan di mana sesebuah projek secara lazimnya memerlukan tempoh antara 18 hingga 24 bulan untuk direalisasikan sepenuhnya. Kejayaan kita menggerak sebahagian besar pelaburan ke fasa pelaksanaan dalam tempoh yang singkat ini jelas membuktikan keberkesanan fasiliti menyeluruh. Dan kerajaan memberi komitmen bahawa banyak usaha termasuk usaha end-to-end, fasiliti pelaburan secara end-to-end. Antaranya inisiatif utama ialah penubuhan Pejabat Pelaksanaan dan Fasilitasi Projek iaitu TRACK sebagai platform intervensi awal bagi menangani isu pelaksanaan dan penubuhan Pusat Memudah Cara Pelaburan Malaysia atau Invest Malaysia Facilitation Centre di MIDA sebagai pusat penyelarasan pelaburan di peringkat nasional.
Semua usaha ini telah banyak membantu melaksanakan projek-projek kita. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Silakan Yang Berhormat.
Dato' Wira Dr. Ku Abd Rahman bin Ku Ismail - Kubang Pasu
Terima kasih Dato' Speaker. Soalan tambahan daripada saya.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Kubang Pasu.
Dato' Wira Dr. Ku Abd Rahman bin Ku Ismail - Kubang Pasu
Global geopolitik khususnya perang Amerika–Iran yang tidak nampak kesudahannya sudah pasti akan memberikan kesan atau impak yang besar kepada ekonomi dunia. Impak ini tentunya akan memberikan kesan kepada pelaburan daripada negara maju ke Malaysia.
Soalan tambahan daripada Kubang Pasu ialah adakah impak ini akan memberikan kesan atau mengganggu rentak dan kerancakan pelaburan ke Malaysia khususnya FDI? Apakah unjuran nilai pelaburan yang akan diterima oleh Malaysia pada tahun 2026 dan juga berapakah jumlah pelaburan antara Januari sehingga Mei 2026?
Bagi tahun 2025, Malaysia menerima pelaburan yang tertinggi sejumlah RM426.7 bilion, FDI RM207 bilion, DDI RM219 bilion, manufacturing RM131 bilion dan perkhidmatan RM281 bilion.
Keduanya, apakah kemajuan yang telah dicapai dalam sasaran pelan 10 tahun National Semiconductor Strategy yang telah dilancarkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri? Antaranya menjadikan Malaysia sebagai hab microchips, R&D dan manufacturing. Keduanya, membangunkan 100 syarikat homegrown semiconductor dan melatih juga upskill, 60,000 orang jurutera yang berkemahiran tinggi. Terima kasih Dato' Yang di-Pertua, terima kasih Timbalan Meenteri.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Silakan Yang Berhormat Menteri untuk menjawab.
Tuan Sim Tze Tzin
Terima kasih sahabat saya Kubang Pasu yang menanyakan soalan yang sangat penting dan juga strategik. Sukacita saya maklumkan kepada Kubang Pasu bahawa sebenarnya konflik di Asia Barat sememangnya memberi kesan kepada semua negara perdagangan termasuk Malaysia. Keadaan ini terutamanya amat dirasai oleh negara-negara yang bergantung kepada import atau bekalan tenaga dari rantau tersebut.
Sebagai contohnya, negara jiran kita Filipina telah mengisytiharkan darurat tenaga kebangsaan, manakala beberapa negara seperti Jepun dan negara-negara Kesatuan Eropah turut mengaktifkan pelepasan rizab petroleum strategik bagi memastikan kesinambungan bekalan dan menstabilkan harga tenaga di pasaran antarabangsa.
Walau bagaimanapun, kita mempunyai cabaran, tetapi sebenarnya prestasi Malaysia ini sangat-sangat baik. Saya nak bagi statistik, ini adalah fakta ya. Daripada tahun Januari— tahun 2026, Januari hingga Mei, total eksport negara kita telah melonjak 24.3 peratus. Maksud, naik secara double digit, sangat-sangat tinggi. Ini perang di Timur Tengah bulan Mac sampai Mei. Okey, tiga bulan no problem ya.
Maksudnya, prestasi negara kita amat baik. Dan pada bulan Mei ya, total trade kita melonjak 29.8 peratus, almost 30 percent pelonjakan dan total eksport kita meningkat 45.3 peratus. Ini highest ever. Bulan Mei 2026 adalah bulan perdagangan yang terbaik dalam sejarah, dalam sejarah.
Jadi, ini menunjukkan bahawa apa? Menunjukkan bahawa Malaysia ini pada keadaan yang strategik di mana walaupun ada perang di rantau lain, Malaysia ini kekal stabil, aman. Rantau ini bagus, pentadbiran ini stabil. Dan kerajaan ini telah berusaha untuk meningkatkan eksport kita dan kita telah mencatat kejayaan yang sangat besar.
Dan kalau kita politik dalam negara kita boleh dikekalkan secara stabil, rantau ini aman, saya yakin bahawa Malaysia boleh lonjak ke arah yang lebih baik.
Dan saya haraplah ini adalah fakta-fakta yang menunjukkan bahawa negara memang baik dan pelaburan, pelabur-pelabur pun akan melihat di dunia. Mereka pelabur ini, mereka mahukan keadaan yang stabil. Dia nak polisi very clear policy, policy framework dan juga pelaksanaan.
Dan mereka akan nampak bahawa Malaysia ini adalah negara yang aman dengan polisi yang baik, bagus di bawah pentadbiran Perdana Menteri kita. Dan mereka akan pilih kerana mereka sudah nampak bahawa Malaysia ini outstanding daripada tempat-tempat lain yang penuh dengan pelbagai cabaran. Malaysia kekal sebagai negara yang stabil dan rantau yang aman. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Terima kasih Yang Berhormat.
Dato' Wira Dr. Ku Abd Rahman bin Ku Ismail - Kubang Pasu
Menteri tak jawab fasal NSS, ada jawab tadi? National semiconductor, ada jawab?
Tuan Sim Tze Tzin
Dia ada banyak data yang saya— Nanti saya bagi secara bertulis. Terima kasih.
Dato' Wira Dr. Ku Abd Rahman bin Ku Ismail - Kubang Pasu
Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Baik. Majlis ke soalan yang keenam. Dipersilakan Tuan Riduan bin Rubin, Yang Berhormat Tenom.
Tuan Riduan bin Rubin - Tenom
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Piala Dunia 2026 jadi perhatian, Soalan nombor enam mohon penjelasan. Terima kasih.
6. Tuan Riduan bin Rubin [Tenom] minta Menteri Dalam Negeri menyatakan penilaian risiko keselamatan siber negara sekiranya had umur 16 tahun dilaksanakan, termasuk keupayaan PDRM dan agensi berkaitan dalam menangani jenayah siber terhadap kanak-kanak serta kesiapsiagaan ekosistem forensik digital negara.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Dipersilakan Menteri Dalam Negeri untuk menjawab.
Timbalan Menteri Dalam Negeri - Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar bin Haji Nasarah
Terima kasih Yang Berhormat Dato' Dr. Speaker, sahabat saya Tenom.
Kanak-kanak dan remaja ini merupakan golongan yang berpotensi terdedah kepada pelbagai ancaman seperti eksploitasi seksual dalam talian, buli siber, penipuan digital, penyebaran kandungan berbahaya serta aktiviti perekrutan jenayah melalui platform media sosial.
Kalau kita tengok statistik Yang Berhormat, pada tahun 2024, kesalahan yang melibatkan seksual kanak-kanak di bawah Akta Kesalahan-kesalahan Seksual terhadap Kanak-kanak 2017, sebanyak 69 kes telah dilaporkan. Manakala pada tahun 2025, jumlah ini meningkat dengan ketara kepada 146 kes.
Justeru, pelaksanaan had umur 16 tahun bagi pendaftaran akaun media sosial yang diperkenalkan kerajaan ini merupakan langkah dasar yang wajar untuk dilaksanakan dalam mengurangkan pendedahan kanak-kanak kepada risiko keselamatan siber yang dinyatakan. Pelaksanaan dasar ini sebenarnya selaras dengan inisiatif keselamatan dalam talian negara termasuk Kod Perlindungan Kanak-kanak
(CPC) dan Kod Pengurangan Risiko (RMC) di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 iaitu Akta 866 yang telah pun berkuat kuasa pada 1 Jun 2026 lalu yang mana turut memperkukuhkan tanggungjawab platform digital dalam melindungi pengguna kanak- kanak.
Timbalan Menteri Dalam Negeri - Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar bin Haji Nasarah
Dari aspek penguatkuasaan Yang Berhormat, PDRM melalui jabatan-jabatan yang berkaitan mempunyai keupayaan untuk menyiasat kesalahan jenayah siber yang melibatkan kanak-kanak berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada seperti Kanun Keseksaan, Akta Kesalahan Seksual Kanak-Kanak 2017 [Akta 792] , Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta undang-undang berkaitan lain mengikut fakta sesuatu kes.
Walau bagaimanapun, bagi menghadapi trend jenayah siber yang semakin kompleks ini, PDRM akan terus memperkukuhkan peralatan teknikal, meningkatkan kompetensi sumber manusia melalui latihan kepakaran dan kerjasama secara strategik dengan agensi seperti Suruhanjaya Komunikasi Multimedia (MCMC) dan CyberSecurity Malaysia.
Dari perspektif forensik digital pula Yang Berhormat, Malaysia mempunyai ekosistem yang menyokong siasatan dan pendakwaan kes jenayah siber.
Kesiapsiagaan ini akan terus kita perkukuhkan dari segi teknologi, kepakaran serta integrasi antara agensi yang penting bagi memastikan pengendalian bahan bukti digital dapat dilaksanakan secara lebih efektif, teratur dan sah dari segi undang-undang selaras dengan perkembangan teknologi semasa.
Yang Berhormat, kalau kita lihat daripada segi aspek kesedaran pencegahan, kerajaan melalui KDN dan PDRM terus memberi penekanan pelaksanaan program- program literasi digital dan kesedaran awam yang lebih bersasar, khususnya kepada golongan muda yang dikenal pasti sebagai antara kumpulan paling terdedah kepada jenayah penipuan dalam talian. Bagi tempoh Januari hingga Mei 2026, untuk rekod sebanyak 5,985 aktiviti pencegahan jenayah telah dilaksanakan di seluruh negara, merangkumi ceramah, pameran, kempen, media sosial, program advokasi, komuniti dan hebahan melalui sosial media.
Maknanya secara keseluruhan, pelaksanaan had umur 16 tahun ke bawah ini memerlukan pendekatan menyeluruh Yang Berhormat, yang merangkumi mekanisme pengesahan umur yang berkesan, penguatkuasaan bersepadu serta pengukuhan ekosistem keselamatan digital negara bagi memastikan keseimbangan antara perlindungan kanak-kanak dan keperluan keselamatan siber negara. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Silakan Yang Berhormat, soalan tambahan Yang Berhormat Tenom.
Tuan Riduan bin Rubin - Tenom
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Terima kasih Yang Berhormat Timbalan Menteri atas jawapan yang telah diberikan berkaitan usaha Kerajaan MADANI dalam memperkukuh keselamatan siber negara, khususnya yang melibatkan golongan muda serta pembangunan ekosistem forensik digital.
Soalan tambahan saya kepada Yang Berhormat Timbalan Menteri ialah memandangkan kanak-kanak hari ini semakin celik teknologi dan berupaya menggunakan rangkaian virtual private network (VPN) atau identiti ibu bapa, penjaga bagi memintas mekanisme pengesahan umur. Apakah strategi intervensi teknikal yang akan dilaksanakan oleh PDRM dan SKMM bagi mengesan, mencegah dan membendung perbuatan tersebut tanpa menjejaskan hak privasi pengguna yang sah?
Yang kedua, memandangkan kebanyakan platform media sosial dan perkhidmatan digital beroperasi di luar negara, apakah mekanisme penguatkuasaan undang-undang yang akan diambil oleh kerajaan terhadap penyedia platform asing yang gagal melaksanakan pengesahan umur secara berkesan atau gagal menyaring akses pengguna bawah umur dari Malaysia. Adakah kerajaan bercadang mengenakan penalti, sekatan operasi, arahan pematuhan dan tindakan perundangan lain bagi memastikan platform ini mematuhi kehendak undang-undang negara. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Silakan, Yang Berhormat Menteri.
Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar bin Haji Nasarah
Yang Berhormat, Kementerian Dalam Negeri melalui PDRM, kita sentiasa bekerjasama rapat dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) serta agensi-agensi penguat kuasa berkaitan dalam menangani sebarang cubaan untuk memintas mekanisme kawalan akses terhadap kandungan atau perkhidmatan dalam talian termasuk penggunaan VPN yang disebut tadi iaitu identiti pihak ketiga dan sebagainya.
Yang Berhormat, dari segi undang-undang penguatkuasaan, PDRM akan mengambil tindakan berdasarkan maklumat-maklumat risikan aduan awam serta hasil siasatan sekiranya penggunaan VPN atau identiti orang lain berkaitan dengan perlakuan jenayah di bawah undang-undang sedia ada.
Dato’ Haji Adnan bin Haji Abu Hassan - Kuala Pilah
[Bangun]
Tuan Ir. Ts. Haji Khairil Nizam bin Khirudin - Jerantut
[Bangun]
Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar bin Haji Nasarah
Jadi, penggunaan teknologi tersebut, ia bukanlah suatu kesalahan automatik namun sekiranya digunakan bagi memudahkan perlakuan jenayah seperti eksploitasi seksual kanak-kanak, penipuan, perjudian dalam talian, penyebaran bahan lucah atau kesalahan lain, tindakan akan diambil mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa termasuk Kanun Keseksaan, Akta Jenayah Komputer 1997 [Akta 563] , Akta Komunikasi dan Multimedia [Akta 588] serta undang-undang yang ada.
Memang kita akui bahawa kita memang menghadapi cabaran besar. Antara cabaran ialah peningkatan teknologi. Kemudian, telco. Pihak telco ini, dia tidak menyimpan bahan begitu lama kerana data, kerana kos terlalu tinggi dan cabaran juga ialah platform-platform yang digunakan adalah platform atau server di luar negara. Jadi, bagi penyedia platform asing ini, penguatkuasaan terhadap pematuhan keperluan penyaringan pengguna dan perlindungan kanak-kanak adalah di bawah bidang kuasa SKMM dan berdasarkan kerangka perundangan yang berkuat kuasa.
Sekiranya terdapat kegagalan mematuhi kehendak undang-undang atau arahan pihak berkuasa, tindakan boleh diambil termasuk arah pematuhan, sekatan akses terhadap khidmat atau kandungan serta tindakan perundangan mengikuti undang- undang yang berkaitan. Sebab itu KDN berpandangan bahawa perlindungan kepada kanak-kanak dalam talian, ini memerlukan pendekatan yang menyeluruh yang gabungkan langkah-langkah teknikal, penguatkuasaan undang-undang, kerjasama rentas agensi, kerjasama dengan penyedia platform serta peningkatan kesedaran di kalangan masyarakat, ibu bapa dan sebagainya.
Jadi, pendekatan ini penting bagi memastikan undang-undang siber negara kekal selamat tanpa menjejaskan penggunaan teknologi secara sah dan bertanggungjawab. Malah Yang Berhormat, kita sentiasa menjalinkan kerjasama dengan INTERPOL, ASEANPOL dan juga police to police di negara-negara luar dalam menangani isu yang sangat mencabar ini. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Terima kasih Yang Berhormat Menteri. Silakan, Yang Berhormat Jerantut.
Tuan Ir. Ts. Haji Khairil Nizam bin Khirudin - Jerantut
Terima kasih Dato’ Timbalan Yang di-Pertua, terima kasih kepada Timbalan Menteri. Saya mengalu-alukan kelulusan Rang Undang-undang Jenayah Siber yang telah dilakukan semalam dan pastinya ia melibatkan kepada pengukuhan di peringkat penguatkuasaan. Dan semalam pun untuk pengetahuan Yang Berhormat Timbalan Menteri, di peringkat JKPK Infrastruktur, Pengangkutan dan Komunikasi kita telah mengadakan pertemuan dengan UNICEF dan membincangkan tentang perkara ini dengan lebih terperinci.
Jadi persoalan saya ialah, dengan peningkatan teknologi AI dan juga deepfake yang semakin menyukarkan pengecaman bukti digital, apakah tahap kesiapsiagaan Makmal Forensik Digital Negara dan bilakah pusat kepakaran forensik AI yang diumumkan kerajaan akan beroperasi sepenuhnya?
Yang kedua, tadi Timbalan Menteri bagi tahu tentang literasi digital. Saya berpendapat, kerjasama ini wajar dilaksanakan juga bersama dengan Ahli-ahli Parlimen untuk kita sampaikan kepada rakyat kita di bawah. Dan yang paling penting juga ialah dalam perbincangan semalam dengan UNICEF, kita melihat perlunya literasi digital ini bukan sekadar kepada anak-anak muda kita yang berusia 16 tahun ke bawah, juga kepada parents ataupun ibu ayah untuk memastikan perkara ini melibatkan ekosistem yang sempurna. Maknanya, bukan sekadar kerajaan menjaga rakyat, bukan sekadar Ahli Parlimen menjaga rakyatnya, juga ibu bapa menjaga anak-anaknya. Mohon komen daripada pihak Menteri.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Silakan Yang Berhormat Menteri.
Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar bin Haji Nasarah
Yang Berhormat Dato’ Dr., sahabat saya Jerantut. Saya sebut awal tadi bahawa menangani isu ini memang memerlukan kerjasama pelbagai pihak dan tentunya kesedaran di kalangan masyarakat. Untuk kerjasama dengan Ahli-ahli Parlimen, memang kita sangat alu- alukan.
KDN, kita melalui PDRM, kita sentiasa menilai keperluan kita untuk memperkukuhkan kapasiti forensik digital. Ini selaras dengan peningkatan trend jenayah siber, termasuk kes-kes yang melibatkan eksploitasi kanak-kanak yang semakin meningkat. Teknologi semakin meningkat dan sebagainya, saya dah sebut cabaran kita.
Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar bin Haji Nasarah
Dalam itu, pencegahan perancangan untuk memperkukuhkan kapasiti forensik.
Ini dia meliputi isu-isu soal infrastruktur, peralatan teknologi serta penempatan pegawai berkemahiran mengikut keperluan operasi dan tertakluk kepada keutamaan keperluan perkhidmatan serta peruntukan juga kewangan negara.
Namun demikian, saya nak sebut bahawa pada masa ini, pemeriksaan dan analisa forensik itu dilaksanakan oleh fasiliti forensik PDRM yang diakui mempunyai kepakaran dan peralatan khusus bagi memastikan integriti, bahan bukti serta pematuhan kepada prosedur forensik dan rantaian jagaan bahan bukti. Kerana bagi kes- kes yang disiasat— Bagi kes-kes yang disiasat di negeri, contohnya di Sabah dan Sarawak, mekanisme penyelarasan sedia ada sebenarnya memang membolehkan bahan bukti dikenali dengan baik mengikut prosedur yang ditetapkan supaya ia tidak menjejaskan siasatan.
Dari semasa ke semasa, kita memang meningkatkan keupayaan kita. Dan untuk itu, PDRM Yang Berhormat dia terus kukuhkan keupayaan forensik digital. Saya sebutkan tadi melalui latihan, persijilan profesional, perolehan teknologi dan penambahan kepakaran pegawai. Di samping menilai keperluan memperluaskan kapasiti forensik digital secara berfasa berdasarkan keperluan operasi dan perkembangan ancaman siber yang semakin meningkat, teknologi semakin meningkat.
Cabaran kita juga ialah penggunaan server-server di luar negara.
Untuk makluman, kita ada rangkaian dan makmal digital forensik PDRM. Kita ada makmal digital forensik di Cheras. Ini makmal forensik yang utama, Yang Berhormat Dato’ Speaker tahu perkara ini. Ini terkini dan beroperasi dan kita ada 14 makmal satelit di— yakni makmal mini lab yang ada di negeri-negeri, termasuk di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, di Labuan dan Putrajaya.
Namun, saya sebutkan tadi, cabaran semakin meningkat, teknologi semakin meningkat dan penggunaan-penggunaan dan kepakaran di pihak penjenayah juga meningkat, maka keupayaan kita juga kita tingkatkan dari semasa ke semasa. Ini berasaskan perkembangan terkini. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Terima kasih Yang Berhormat Menteri. Majlis ke soalan yang ketujuh. Saya persilakan Tuan Sabri bin Azit, Yang Berhormat Jerai.
Tuan Sabri bin Azit - Jerai
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Tuan Speaker, soalan saya nombor 7.
7. Tuan Sabri bin Azit [Jerai] minta Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menyatakan jumlah lampu jalan telah dipasang di Parlimen Jerai sejak tahun 2025 hingga suku ketiga 2026.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Dipersilakan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah untuk menjawab.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah - Datuk Hajah Rubiah binti Wang
Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Tuan Yang di-Pertua, untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Pelaksanaan Program Lampu Jalan Kampung Fasa 11 bagi Semenanjung Malaysia dan Sabah telah pun siap sepenuhnya pada bulan November 2024 dan kini berada dalam tempoh tanggungan kecacatan bagi memastikan sebarang kecacatan dan kerosakan yang dikenal pasti dapat dibaiki oleh pihak kontraktor mengikut syarat-syarat kontrak.
Dalam pelaksanaan program LJK Fasa 11, Parlimen Jerai telah diperuntukkan sebanyak 88 unit LJK yang telah dipasang di 21 kampung. Bagi tahun 2026, kementerian kini masih dalam proses penyediaan cadangan. Agihan bilangan unit LJK mengikut kawasan Parlimen bagi program LJK fasa seterusnya yang kita jangka bermula pada tahun 2027. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Yang Berhormat, soalan tambahan.
Tuan Sabri bin Azit - Jerai
Terima kasih Timbalan Menteri atas jawapan yang telah diberikan. Mengikut anggaran yang telah pun dijelaskan, sebanyak 21 kampung telah terlibat di Parlimen Jerai. Dan apabila dapatan ini saya dapat hari ini di Parlimen, ada lagi kawasan-kawasan yang masih memerlukan dan insya-Allah, saya akan buat cadangan untuk menambah lampu jalan seterusnya insya-Allah, sekian.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Silakan Yang Berhormat Menteri. Saya rasa tak ada soalan tapi silakanlah.
Datuk Hajah Rubiah binti Wang
Tuan Yang di-Pertua, betul tak ada soalan itu.
Cuma dalam bentuk permohonan.
Dato’ Haji Adnan bin Haji Abu Hassan - Kuala Pilah
[Bangun]
Datuk Suhaimi bin Nasir - Libaran
[Bangun]
Tuan Mohamad Shafizan Haji Kepli - Batang Lupar
[Bangun]
Datuk Hajah Rubiah binti Wang
Cuma Tuan Yang di-Pertua, cuma saya ingin mengingatkan di sini ya, sebarang permohonan baru untuk lampu jalan kampung perlu diserahkan kepada Unit Perancang Negeri.
Datuk Suhaimi bin Nasir - Libaran
Tuan Yang di-Pertua.
Datuk Hajah Rubiah binti Wang
Sebab prioriti pemilihan projek bagi lampu jalan kampung ini berdasarkan Unit Perancang Negeri. Walaupun permohonan itu dikemukakan kepada KKDW, kita still akan rujuk kepada Unit Perancang Negeri. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Berikut dipersilakan Yang Berhormat Libaran.
Tuan Sabri bin Azit - Jerai] Terima kasih Menteri. Datuk Suhaimi bin Nasi
Terima kasih Dato’ Yang di-Pertua. Yang Berhormat Timbalan Menteri, saya ingin mahu mengambil satu pendekatan perbandingan. Di dalam satu kawasan Parlimen, kadang-kadang ada kawasan urban dan juga luar bandar tetapi kawal selia dalam satu Parlimen itu kadang-kadang di bawah PBT.
Spec yang dibagi oleh KKDW tidak sama dengan spec yang telah disalurkan oleh KPKT. Jadi, standard contohnya lampu solar itu. Standard yang disarankan itu tidak capai. Setahun di pasaran lampu solar ini untuk jalan kampung, dah tak boleh hidup sudah.
Ini yang menjadi satu permasalahan-permasalahan. Akhirnya, kos di dalam satu kawasan itu akan bertambah sehingga mewujudkan satu kesenjangan yang menyebabkan peruntukan itu sudah masuk di kawasan itu tetapi tidak dapat di manfaat kepada rakyat. Sekian, terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Silakan Yang Berhormat Menteri.
Datuk Hajah Rubiah binti Wang
Terima kasih YB Libaran atas soalan tambahan. Untuk makluman Yang Berhormat, projek lampu jalan ini kita laksanakan di peringkat daerah ataupun Parlimen menggunakan kaedah tiang-tiang elektrik yang ada, yang sedia ada di kawasan berkenaan ya.
Yang based berdasarkan talian grid ya. So far, setakat ini tak ada timbul sebarang masalah di peringkat pelaksanaannya. Namun apa yang dimaklumkan oleh Yang Berhormat tadi berkaitan dengan lampu solar, sebenarnya sebelum ini lampu solar kita lebih dalam bentuk projek khas ya yang kita laksanakan. Yang mana aspek maintenance itu kurang diambil— maksudnya tidak ada peruntukan khas untuk tujuan berkenaan.
Namun begitu untuk makluman Yang Berhormat, pada masa ini dan juga masa akan datang, kita telah memperkenalkan satu game changer iaitu lampu solar, lampu jalan kampung menggunakan kaedah solar tetapi kita mempunyai spec yang telah ditetapkan dengan kerjasama dengan JKR mengikut standard yang telah ditetapkan oleh JKR, yang bersesuaian untuk jalan-jalan di kampung ataupun di kawasan-kawasan kampung yang terdapat di PBT ya.
Dan pemantauan dia juga, maksudnya dari sudut pemantauan ataupun penyelenggaraannya akan di bawah kendalian Pejabat PKN Negeri, Pejabat KKDW Negeri ya. Jadi, tahun ini kita ada peruntukan sebanyak RM20 juta.
Insya-Allah, kita dalam proses memilih kampung ataupun kawasan-kawasan yang terlibat, yang mana kita telah mengenal pasti empat buah negeri ya untuk kita adakan projek lampu jalan solar ini dan dalam proses mengenal pasti kampung- kampung yang terlibat yang mana kita akan fokuskan kepada kampung-kampung yang terpencil.
Berkaitan yang tak menepati spec itu Yang Berhormat, kita telah pun membuat ketetapan supaya perkara ini kita ambil kira dan lebih menguntungkan lagi pada masa- masa akan datang. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Yang Berhormat Menteri jangan lupa kawasan orang asli ya.
[Ketawa] Baik, soalan yang kelapan Yang Berhormat Sandakan ada urusan yang tidak dapat dielakkan. Saya terus ke soalan yang kesembilan. Dengan itu, dipersilakan Dato' Wira Dr. Ku Abd Rahman bin Ku Ismail, Yang Berhormat Kubang Pasu.
[Soalan No. 8 – YB. Puan Vivian Wong Shir Yee (Sandakan) tidak hadir]
Dato' Wira Dr. Ku Abd Rahman bin Ku Ismail - Kubang Pasu
Terima kasih Dato’ Yang di-Pertua. Jumlah insiden kecurian kabel kereta api kian meningkat menyebabkan tergendala perjalanan kereta api.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Yang Berhormat, terus soalan.
Dato' Wira Dr. Ku Abd Rahman bin Ku Ismail - Kubang Pasu
Ini soalan ini, nak tanya.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Ya lah, sebut nombor kalau nak baca.
Dato' Wira Dr. Ku Abd Rahman bin Ku Ismail - Kubang Pasu
Oh, soalan tambahan.
[Pembesar suara dimatikan] Soalan saya nombor 9.
9. Dato' Wira Dr. Ku Abd Rahman bin Ku Ismail [Kubang Pasu] minta Menteri Pengangkutan menyatakan:
(a) apakah langkah tindakan yang akan diambil oleh kerajaan bagi menoktahkan aktiviti mencuri kabel kereta api yang kian menjadi-jadi akhir-akhir ini; dan
(b) berapakah jumlah insiden kecurian yang berlaku dalam tempoh tiga tahun yang lalu dan berapakah jumlah kuantiti kabel.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Ha.
Dato' Wira Dr. Ku Abd Rahman bin Ku Ismail - Kubang Pasu
Nombor 9. Tak tahu saya duk tengok pastu sebut orang asli, tu saya naik semangat tadi.
[Ketawa]
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
[Ketawa] Pandai hang nah. Baik. Berikut dipersilakan Menteri Pengangkutan untuk menjawab.
Timbalan Menteri Pengangkutan - Datuk Haji Hasbi bin Haji Habibollah
Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih Yang Berhormat.
Tuan Yang di-Pertua, untuk makluman Ahli Yang Berhormat, kerajaan memandang serius peningkatan kes kecurian kabel kereta api kerana ia bukan sahaja menyebabkan kerugian kewangan yang besar, malah boleh menjejaskan keselamatan operasi. Kebolehpercayaan perkhidmatan serta kelancaran sistem pengangkutan awam negara, kegiatan ini boleh dianggap sebagai satu bentuk sabotaj terhadap infrastruktur rel kerana berpotensi mengancam keselamatan ratusan penumpang menyebabkan gangguan perkhidmatan tren serta menjejaskan keyakinan terhadap sistem pengangkutan awam.
Sehubungan itu, pelbagai langkah proaktif sedang dan akan terus dilaksanakan bagi membanteras kegiatan ini. Berdasarkan rekod yang diterima sebanyak 339 insiden kecurian kabel telah direkodkan dalam tempoh tiga tahun ini. Melibatkan anggaran 19,756 meter kabel dengan jumlah kerugian dianggarkan sebanyak RM16,298,700.
Bagi tempoh Januari hingga Mei 2025 sahaja, hampir 45 insiden kecurian kabel telah dilaporkan di sektor utara.
Perincian jumlah keseluruhan insiden dan kuantiti kabel yang dicuri mengikut tahun adalah seperti berikut:
Pada tahun 2026 ini sehingga Jun, insiden kecurian 64. Kuantiti kabel yang dicuri, 1,878 meter.
Pada tahun lepas, 141 insiden. Panjang kabel yang dicuri 9,699 meter.
Pada tahun 2024, 188 insiden. Panjang kabel yang dicuri 8,179 meter. Jadi berjumlah kepada 19,000 tadi itukan.
Bagi membanteras kegiatan ini, pelbagai inisiatif telah dan sedang dilaksanakan.
Antaranya adalah pemasangan Sistem Televisyen Litar Tertutup (CCTV) pintar berasaskan kecerdasan buatan AI secara berfasa di lokasi-lokasi berisiko tinggi yang dikenal pasti oleh Railway Assets Corporation (RAC). Sistem ini berkeupayaan mengesan pergerakan mencurigakan secara masa nyata. Melaksanakan analitik video seperti pengecaman objek dan pengesanan pencerobohan, serta menyalurkan amaran automatik kepada pusat kawalan bagi membolehkan tindakan segera diambil.
Penggunaan teknologi dron ataupun nested drone turut diperkenalkan bagi meningkatkan keupayaan pemantauan udara secara pantas dan lebih meluas di kawasan hotspot khususnya di lokasi yang sukar diakses melalui rondaan biasa. Di samping itu pula, Kereta Api Tanah Melayu telah mendapat kelulusan untuk memperoleh 20 unit motosikal scrambler bagi kegunaan polis bantuan KTMB bagi memperkukuh rondaan keselamatan mempercepatkan tindak balas terhadap insiden serta meningkatkan kehadiran penguatkuasaan di kawasan landasan dan aset rel yang berisiko.
Kerajaan juga sedang mengkaji pindaan terhadap peruntukan undang-undang berkaitan bagi mengenakan tindakan yang lebih tegas terhadap pelaku jenayah termasuk penceroboh dan pihak yang melakukan kerosakan atau kecurian melibatkan aset kereta api. Kerjasama strategik dengan PDRM turut diperkukuh termasuk usaha mendekati dan meningkatkan kesedaran dalam kalangan pengusaha serta peniaga besi buruk supaya tidak membeli kabel atau komponen rel yang disyaki diperoleh melalui aktiviti jenayah.
Pendekatan ini penting bagi memutuskan rantaian pasaran terhadap barangan curi dan mengurangkan insentif kepada pelaku jenayah. Kerajaan komited untuk terus memperkukuh aspek pencegahan, penguatkuasaan dan penggunaan teknologi baharu bagi memastikan keselamatan infrastruktur rel sentiasa terpelihara serta menjamin penyampaian perkhidmatan yang selamat, cekap dan boleh dipercaya rakyat. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Soalan tambahan Yang Berhormat.
Dato' Wira Dr. Ku Abd Rahman bin Ku Ismail - Kubang Pasu
Terima kasih Dato' Yang di-Pertua. Terima kasih Timbalan Menteri.
Sebenarnya saya dah ada ditulis sini tentang dalam satu sidang akhbar pada 30 Mei 2026 di Padang Besar, yang mana Menteri Yang Berhormat, Menteri Pengangkutan menyatakan bahawa kerajaan sedang meneliti kaedah berkesan termasuk penggunaan teknologi pemantauan. Yang ini sudah pun disebut oleh Timbalan Menteri.
Soalan dia, adakah dia sedang dilaksanakan ataupun bila akan dilaksanakan?
Dan memandangkan kalau kita ambil landasan kereta api sekarang ini dah daripada Padang Besar ke Johor Bahru. Dia satu jarak yang begitu panjang dan jauh. Berapakah agaknya jumlah perbelanjaan yang akan digunakan oleh kerajaan bagi melaksanakan projek ini.
Dan mengenai tadi disebut dua cara. Satu, dengan teknologi. Satu lagi dengan cara undang-undang. Ini telah disebut oleh Menteri Pengangkutan berkali-kali yang saya memang mengikut begitu rapat. Dan dari segi undang-undang, apakah cadangan yang akan diteliti dan dicadangkan oleh kementerian bagi menangani isu kecurian kabel ini?
Terima kasih Dato' Yang di-Pertua. Terima kasih Timbalan Menteri.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Silakan Menteri untuk menjawab.
Dato’ Haji Adnan bin Haji Abu Hassan - Kuala Pilah
[Bangun]
Tuan Sanisvara Nethaji Rayer a/l Rajaji - Jelutong
[Bangun]
Datuk Haji Hasbi bin Haji Habibollah
Terima kasih Yang Berhormat Kubang Pasu.
Berkenaan dengan AI ya yang sebenarnya ada akan dipasang 1,146 unit AI punya kamera di semua stesen. Lepas itu dekat feeder station dan juga dia panggil MPTSL ini iaitu Mid Point Track Section Location yang akan dipasang di tower, tower itu.
Jadi, yang sudah dipasang 247 unit dah. Dan yang selebihnya itu, sedang dalam proses pemasanganlah. Dan total cost untuk memasang 146 unit ini dalam iaitu 14 juta yang disediakan dalam proses. Insya-Allah akan di-activated the moment, akan dijangka siap dalam kuota empat tahun ini. Pemasangan semua unit AI kamera. Dan juga berkenaan dengan untuk penjagaan secara fizikal, scrambler tadi juga, insya-Allah dalam tahun ini RAC akan menyediakan supaya senanglah untuk deploy dengan cepat kepada insiden-insiden ataupun di mana kecurian sedang berlaku atau dalam proses mencuri kata orang.
Dan berkaitan dengan perundangan pula, yang sebenarnya kami di MOT, minggu lepas pun kita ada duduk juga. Tengah memperhalusi perundangannya, ya.
Mudah-mudahanlah kalau dapat semuanya berjalan, mudah-mudahan ya. Insya-Allah.
Mohon sempat hujung tahun ini, hujung tahun ini. Kalau sempat. Because banyak perkara juga yang perlu dipinda. Memang diakui, undang-undang yang ada sekarang ini, terlalu lemah untuk rel ini.
Bayang saja, menceroboh, hukum RM500 saja, RM1,000 saja. Jadi, yang kita nak simpan ini memang heavy-lah. Kena sebab pencurian kabel, yang ini berkaitan dengan keselamatan ini akan dikenakan penaltilah yang beratlah. Mungkin sebab kita melihat negara lain juga ada sampai sebatan pun ada untuk kecurian. It will be heavy penalty, insya-Allah. Dalam proses. Kita sedang memperhalusi. Terima kasih Yang Berhormat.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Yang Berhormat Jelutong.
Tuan Sanisvara Nethaji Rayer a/l Rajaji - Jelutong
Terima kasih Timbalan Speaker. Saya juga mohon bertanya. Selain daripada tindakan yang diambil di bawah Kanun Keseksaan terhadap individu-individu yang terlibat dalam kesalahan mencuri kabel kerana tindakan mencuri kabel ini akan menyebabkan pelbagai masalah, termasuklah kemalangan-kemalangan jiwa.
Adakah kerajaan bercadang untuk menggubal mana-mana undang-undang spesifik, di mana akta-akta spesifik terhadap pencuri-pencuri kabel dan juga orang- orang yang menerima, menyimpan dan juga melupuskan kabel-kabel ini setelah ia nya dicuri. Bagi kita menjadikannya ia satu pengajaran kepada pencuri-pencuri kabel supaya tidak melakukan kesalahan ini. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Yang Berhormat Menteri. Sila jawab.
Datuk Haji Hasbi bin Haji Habibollah
Okey. Terima kasih YB Jelutong. Jadi kita ada dua ya. Kecurian adalah di bawah akta KDN. Pencerobohan adalah di bawah Akta APAD ya, di bawah Kementerian Pengangkutan lah ya. Jadi, yang tadi saya sebutkan tadi dalam soalan tambahan tadi yang kita sedang menggubal ini, memperhalusi undang-undang di bawah APAD ini ya iaitu tentang pencerobohan. Jadi, insya-Allah.
Jadi yang berkaitan dengan akta KDN ini, saya yakinlah, sebab kita pun memang bekerjasama, MOT dengan KDN. Mungkin, mungkin mereka juga akan melihat bagaimana untuk memberikan hukuman yang lebih beratlah ya di bawah akta KDN ini untuk bab kecurian ini, termasuklah seperti apa yang disebut oleh Jelutong itulah.
Mungkin yang lebih berat lagilah seksaan dan sebagainya.
Datuk Haji Hasbi bin Haji Habibollah
Jadi, itu di bawah KDN. Pencerobohan bawah APAD, bawah kita, sedang diperhalusi, terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato' Dr. Ramli bin Dato' Mohd Nor
Baik Yang Berhormat, saya guna— sepatutnya berakhir, tapi saya guna budi bicara saya. Soalan yang berikut, adalah soalan yang terakhir untuk sesi jawapan lisan. Saya persilakan, Dato’ Haji Adnan bin Haji Abu Hassan, Yang Berhormat Kuala Pilah.
Dato’ Haji Adnan bin Haji Abu Hassan - Kuala Pilah
Terima kasih Yang Berhormat Dato' Dr. Timbalan Speaker di atas budi bicara yang diberikan kepada Kuala Pilah. Soalan Kuala Pilah di nombor 10, terima kasih.
10. Dato' Haji Adnan bin Abu Hassan [Kuala Pilah] minta Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menyatakan pendekatan dan hala tuju Kerajaan dalam memastikan kelestarian pekan kecil dan bandar desa termasuk dari segi pembangunan ekonomi tempatan, penyediaan infrastruktur, akses perkhidmatan asas dan penciptaan peluang pekerjaan bagi mengelakkan penyusutan aktiviti ekonomi serta penghijrahan penduduk ke bandar besar.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato' Dr. Ramli bin Dato' Mohd Nor
Dipersilakan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah - Datuk Hajah Rubiah binti Haji Wang
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, terima kasih YB Kuala Pilah atas soalan nombor 10.
Tuan Yang di-Pertua, pembangunan dan pengurusan pekan kecil serta bandar desa berada di bawah bidang kuasa kerajaan negeri, melalui pihak berkuasa tempatan.
Walau bagaimanapun, KKW berperanan sebagai pemangkin pembangunan luar bandar bagi memastikan kawasan tersebut terus berkembang sebagai pusat pertumbuhan ekonomi setempat, yang mampan, berdaya saing.
Sejajar dengan aspirasi Rancangan Malaysia Ketiga Belas, kerajaan memberi tumpuan kepada pengukuhan ekonomi tempatan, perluasan infrastruktur dan perkhidmatan asas, dan penciptaan peluang pekerjaan, bagi mengurangkan penghijrahan penduduk ke bandar besar dan menjadikan luar bandar sebagai hub pertumbuhan ekonomi baharu.
Antara pendekatan utama yang telah, dan sedang dilaksanakan adalah seperti— pertama, kerjasama strategik pembangunan Wilayah melalui pihak berkuasa koridor dan Lembaga Kemajuan Pembangunan Wilayah yang melibatkan 15 projek berimpak tinggi, dengan potensi pelaburan RM1.253 bilion, serta mewujudkan peluang pekerjaan 5,621.
Yang kedua, penyediaan infrastruktur luar bandar melalui peruntukan RM3.3 bilion pada tahun 2026 bagi projek bekalan air, elektrik, jalan luar bandar dan eminiti sosial. Bagi Parlimen Kuala Pilah, terdapat satu projek melibatkan kemudahan infrastruktur asas yang telah diluluskan bagi tahun 2026, dengan jumlah peruntukan sebanyak RM1 juta.
Yang ketiga, pengukuhan ekonomi berkelompok dengan memperkasakan koperasi komuniti melalui Program Desa Lestari yang telah memanfaatkan 174 kampung dan koperasi. Mewujudkan 5,739 peluang pekerjaan, serta memberi manfaat kepada lebih 120,493 penduduk desa.
Keempat, pemerkasaan TVET luar bandar melalui 281 institusi TVET KKDW, yang menawarkan 529 program kemahiran dengan kadar kebolehpasaran graduan mencapai 95 peratus pada tahun 2024 dan juga 2025.
Selain daripada itu, KKDW turut menggalakkan aktiviti ekonomi bernilai tinggi melalui LKW, termasuk pembangunan pertanian moden dan teknologi tinggi seperti projek vertical farming yang dilaksanakan oleh KEJORA bagi meningkatkan produktiviti dan keterjaminan makanan negara.
Melalui pendekatan bersepadu yang digariskan dalam Dasar Pembangunan Luar Bandar 2030 dan RMK13, KKW komited memperkukuhkan ekosistem pembangunan luar bandar agar pekan kecil dan bandar desa terus berkembang sebagai pusat pertumbuhan ekonomi dan mampu menawarkan peluang pekerjaan, perkhidmatan berkualiti dan kehidupan yang lebih sejahtera kepada rakyat. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato' Dr. Ramli bin Dato' Mohd Nor
Silakan Yang Berhormat Kuala Pilah, soalan tambahan.
Dato’ Haji Adnan bin Haji Abu Hassan - Kuala Pilah
Terima kasih Yang Berhormat Timbalan Menteri terutamanya kepada kelulusan yang telah dinyatakan tadi kepada Parlimen Kuala Pilah.
Soalan tambahan saya, dalam [Tidak jelas] RMK13, adakah kerajaan bercadang memperkenalkan satu dasar atau pelan tindakan khusus bagi memperkukuh pembangunan pekan kecil dan bandar, desa sebagai pusat pertumbuhan ekonomi yang baharu? Supaya jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar ini dapat terus dirapatkan, terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato' Dr. Ramli bin Dato' Mohd Nor
Silakan Menteri.
Datuk Hajah Rubiah binti Haji Wang
Tuan Yang di-Pertua, dalam konteks Rancangan Malaysia Ketiga Belas, agenda pembangunan pekan kecil dan bandar desa telah diarusperdanakan secara menyeluruh. Melalui teras dan strategi pembangunan yang memberi penekanan kepada pembangunan wilayah yang lebih seimbang.
Pengukuhan ekonomi tempatan, penyediaan infrastruktur dan juga perkhidmatan asas yang berkualiti dan juga perwujudan peluang pekerjaan di luar bandar. Pendekatan bersepadu ini membolehkan pembangunan pekan kecil dan bandar desa dilaksanakan secara lebih menyeluruh, tersusun dan mampan, selaras dengan aspirasi RMK13.
Melalui pendekatan ini juga, pembangunan pekan kecil dan bandar desa akan dilaksanakan secara bersepadu mengikut potensi setempat, melalui kerjasama Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan juga pihak berkuasa tempatan. Pendekatan berasaskan tempat ini diyakini lebih berkesan dan merapatkan jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar di samping dapat memastikan setiap inisiatif di bawah RMK13 memberi impak yang mampan kepada kesejahteraan rakyat.
Dalam hubungan ini, seiring dengan aspirasi RMK13, KKW melalui Pelan Strategik KKDW 2026–2030, komited memperkukuhkan pembangunan luar bandar menerusi Teras Ekonomi Desa dan Teras Ekonomi Usahawan Desa dengan memberi tumpuan kepada pemerkasaan ekonomi berasaskan potensi setempat, pembangunan hub pelaburan desa, penyediaan fasiliti sokongan, pembangunan kapasiti komuniti serta meningkatkan pendapatan penduduk luar bandar. Inisiatif ini dijangka merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi, mewujudkan peluang pekerjaan dan juga memperkukuhkan peranan luar bandar sebagai pemangkin pembangunan wilayah yang lebih mampan.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato' Dr. Ramli bin Dato' Mohd Nor
Terima kasih Yang Berhormat Menteri. Soalan tambahan yang— silakan Yang Berhormat.
Tuan Nurul Amin bin Hamid - Padang Terap
Terima kasih Dato’ Yang di- Pertua.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato' Dr. Ramli bin Dato' Mohd Nor
Padang Terap.
Tuan Nurul Amin bin Hamid - Padang Terap
Yang Berhormat Timbalan Menteri. KKW pernah mengumumkan untuk melaksanakan inisiatif menoktahkan kemiskinan tegar di luar bandar menerusi empat program utama. Antara empat program inisiatif utama itu ialah Program Latihan Kemahiran Kerjaya (PLKK).
Jadi soalan saya, berapakah jumlah belia luar bandar yang berjaya dilahirkan melalui program PLKK ini? Berapakah jumlah yang berjaya dilahirkan melalui program PLKK ini dan apakah inisiatif KKW merentasi kementerian untuk memastikan peluang pekerjaan dapat diwujudkan di luar bandar, terutamanya di tempat saya lah, di Padang Terap. Baru ini, iklan kerjaya di Kedah Rubber City, lebih daripada 3,000 belia Padang Terap yang memohon pekerjaan, menunjukkan keperluan pekerjaan terhadap belia di luar bandar, terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato' Dr. Ramli bin Dato' Mohd Nor
Silakan Yang Berhormat Menteri.
Datuk Hajah Rubiah binti Haji Wang
Terima kasih atas soalan tambahan itu tadi. Untuk makluman Yang Berhormat, KKW mempunyai pendekatan untuk program peningkatan pendapatan ataupun meningkatkan ekonomi masyarakat luar bandar yang mana memfokuskan program keusahawanan desa dan juga pelaksanaan TVET, kemahiran di peringkat belia ataupun masyarakat luar bandar.
Untuk makluman Yang Berhormat, kita telah pun melaksanakan beberapa siri PLKK ini sejak— orang kata RMK10 lagi, kita telah pun melaksanakan program PLKK, yang mana telah pun melahirkan ribuan belia yang terlibat dalam program PLKK. Cuma hari ini Yang Berhormat, saya tak ada figure yang melibatkan belia ini. Insya-Allah saya akan jawab secara bertulis kepada Yang Berhormat.
Dan manakala program lain dalam usaha kita memberi program peningkatan pendapatan kepada masyarakat luar bandar dan juga peluang pekerjaan, antara program-program yang kita laksanakan yang pertama adalah Program Desa Lestari.
Yang mana Desa Lestari ini, pembangunan kampung secara menyeluruh berkonsepkan koperasi yang mana kita mengenal pasti program dan ekonomi utama dalam kampung berkenaan.
Dan setakat ini, kita ada 174 kampung yang telah pun mendapat pendanaan sebanyak RM1 juta untuk ditransformkan menjadi program-program peningkatan ekonomi di peringkat kampung.
Datuk Hajah Rubiah binti Haji Wang
Selain daripada itu, kita juga ada program prospek. Prospek ni kita membangunkan satu-satu kawasan bukan sahaja dari sudut pembangunan ekonomi malah juga dari sudut sosial berdasarkan orang kata potensi di kawasan berkenaan.
Contohnya, kawasan saya sendiri Yang Berhormat ya, tapi projek ini lulus sebelum saya jadi Timbalan Menteri KKW adalah projek nanas. Dan nanas ini kita telah melahirkan banyak usahawan-usahawan IKS yang berkaitan dengan nanas ya. Yang mana telah menjadi orang kata, yang boleh menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk kawasan berkenaan.
Selain daripada itu, kita juga ada program RBC dulu RBC sekarang kita kenali sebagai Rizq Desa iaitu Rural Business Challenge. Yang ni lebih kepada, lebih dalam bentuk pertandingan pelan perniagaan yang mana kita telah laksanakan since Rancangan Malaysia Ke-12 lagi dan kita telah pun melahirkan ramai usahawan- usahawan yang berjaya, bukan sahaja meningkatkan pendapatan malah juga menyediakan peluang-peluang pekerjaan.
Salah satunya ada di kawasan Cameron Highlands di kawasan Dato’ Speaker, hari itu saya pernah melawat satu usahawan yang telah pun membangunkan homestay dan juga strawberry park. Daripada usahawan kecil-kecilan, sekarang telah memberi peningkatan pendapatan yang begitu ketara dan telah menyediakan peluang pekerjaan kepada ratusan masyarakat di kawasan Cameron Highlands.
Dari sudut bisnes ataupun perniagaan yang telah dilaksanakan dan begitu juga dengan program-program lain, Yang Berhormat telah kita sediakan di bawah Lembaga Pembangunan Wilayah itu sendiri. Contohnya, Lembaga Pembangunan Wilayah seperti yang saya maklumkan tadi.
Kita bekerjasama dengan koridor sekarang yang mana kita akan dapat menarik perhatian pelabur-pelabur misalnya di Pulau Pinang, PERDA-TECH bekerjasama dengan koridor utara untuk membangunkan Halal Park dan sebagainya. Yang mana untuk create peluang-peluang pekerjaan dan juga program-program peningkatan ekonomi dalam masyarakat berkenaan.
Banyak lagi program-program yang telah kita rangka dalam usaha kita memastikan pendapatan masyarakat luar bandar dan kawasan luar bandar menjadi kawasan yang lebih mampan. Maksudnya, lebih menguntungkan pada masa-masa ini dan juga pada masa akan datang.
Untuk makluman Yang Berhormat, saya dah dapat laporan daripada pegawai saya untuk PLKK belia luar bandar data RMK11, 748 program yang melibatkan 11,724 peserta belia dan kadar bantuan yang diberikan kepada para peserta selepas PLKK berkenaan dalam lingkungan RM15,000 dan kos keseluruhannya adalah RM9 juta. Ini secara keseluruhannya, Yang Berhormat dan tak ada data yang menunjukkan kawasan Yang Berhormat tapi ini untuk rujukan Yang Berhormat. Terima kasih, Tuan Yang di- Pertua.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato' Dr. Ramli bin Dato' Mohd Nor
Terima kasih, Yang Berhormat. Yang Berhormat sekarang tamatlah sesi untuk waktu pertanyaan- pertanyaan bagi jawapan lisan.
[Sesi Pertanyaan-pertanyaan bagi Jawab Lisan tamat]
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) - Puan Marhamah binti Rosli
Tuan Yang di-Pertua, “Mengikut Peraturan Mesyuarat 12(1), saya mohon mencadangkan bahawa Mesyuarat pada hari ini tidak akan ditangguhkan sehingga selesai dibahas dan diputuskan Rang Undang- undang Persaingan (Pindaan) 2026 seperti di nombor 1 dalam Aturan Urusan Mesyuarat dan usul-usul hari ini. Selepas itu Majlis Mesyuarat akan ditangguhkan sehingga jam 10 pagi hari Isnin, 6 Julai 2026.”
Timbalan Yang di-Pertua - Dato' Dr. Ramli bin Dato' Mohd Nor
Yang Berhormat Menteri, ada yang menyokong usul ini?
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat - Puan Lim Hui Ying
Saya menyokong.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato' Dr. Ramli bin Dato' Mohd Nor
Baik, Yang Berhormat terima kasih. Ahli-ahli Yang Berhormat, sekarang saya kemukakan masalah kepada Majlis untuk diputuskan. Masalahnya ialah usul seperti yang telah dinyatakan tadi hendaklah disetujukan.
[Usul dikemukakan bagi diputuskan; dan disetujukan]
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup - Datuk Armizan bin Mohd Ali
Dato’ Yang di-Pertua, saya mohon mencadangkan iaitu satu akta untuk meminda Akta Persaingan 2010 dibacakan kali yang kedua sekarang.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato' Dr. Ramli bin Dato' Mohd Nor
Silakan.
Datuk Armizan bin Mohd Ali
Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum dan salam sejahtera. Dato’ Yang di-Pertua, Ahli-ahli Yang Berhormat proses persaingan dalam pasaran akan menggalakkan perusahaan untuk meningkatkan kecekapan, inovasi dan keusahawanan yang akhirnya menggalakkan harga yang kompetitif, penambahbaikan dalam kualiti produk atau perkhidmatan serta kepelbagaian dalam pilihan kepada pengguna.
Walau bagaimanapun, dalam mana-mana sistem ekonomi yang mengamalkan pasaran terbuka, terdapat segelintir perusahaan yang memilih untuk mengambil jalan pintas bagi memaksimumkan keuntungan mereka. Keuntungan tersebut bukan diperoleh melalui peningkatan kecekapan inovasi atau persaingan yang sihat, sebaliknya melalui amalan anti persaingan seperti penetapan harga, perkongsian pasaran, tipuan bida dalam perolehan kerajaan serta penyalahgunaan kedudukan dominan atau monopoli yang bermasalah dalam pasaran.
Akibatnya, pengguna dan perniagaan lain terpaksa menanggung kesan daripada amalan anti persaingan tersebut melalui harga yang lebih tinggi. Pilihan produk atau perkhidmatan yang lebih terhad, kualiti produk atau perkhidmatan yang merosot serta terbantutnya usaha perusahaan untuk berinovasi dalam pasaran.
Dalam erti kata lain, keuntungan yang diraih oleh perusahaan-perusahaan ini adalah atas kerugian pengguna, the expense of consumers, mohon izin serta menjejaskan proses persaingan dalam pasaran. Perkara ini kemudiannya menjadi salah satu sebab berlakunya peningkatan dalam kos sara hidup rakyat. Atas sebab itulah Akta Persaingan 2010 telah digubal dan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) diwujudkan pada tahun 2011 sebagai sebuah agensi di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Matlamatnya adalah untuk menggalakkan dan melindungi proses persaingan dalam pasaran demi kepentingan pengguna dengan mewujudkan larangan terhadap perjanjian anti persaingan antara perusahaan serta larangan terhadap penyalahgunaan kedudukan dominan atau monopoli bermasalah dalam pasaran.
Apabila proses persaingan ini dilindungi melalui penguatkuasaan Akta Persaingan 2010, perusahaan akan terdorong untuk tidak terlibat dalam perlakuan anti persaingan dan terus meningkatkan kecekapan operasi, berinovasi dan melabur dalam penyelidikan dan pembangunan R&D, menghasilkan produk serta perkhidmatan yang lebih berkualiti serta menawarkan harga yang lebih kompetitif kepada pengguna. Pada masa yang sama, perusahaan kecil dan sederhana turut diberikan peluang untuk memasuki pasaran dan berkembang tanpa disekat oleh amalan anti persaingan perusahaan yang lebih besar.
Akhirnya, manfaat daripada persaingan yang sihat akan dinikmati oleh seluruh rakyat. Pengguna memperoleh lebih banyak pilihan, harga yang lebih berpatutan, kualiti produk perkhidmatan yang lebih baik serta inovasi yang berterusan. Bagi dunia perniagaan pula, kewujudan perundangan persaingan yang berkesan mewujudkan persekitaran pasaran yang sihat sekali gus meningkatkan keyakinan pelabur serta menggalakkan pertumbuhan ekonomi yang mampan.
Oleh sebab itu, Akta Persaingan 2010 bukan sekadar satu undang-undang yang melarang perlakuan anti persaingan tetapi ia juga merupakan satu instrumen yang penting untuk memastikan manfaat pertumbuhan ekonomi dapat dinikmati secara lebih meluas oleh pengguna, perusahaan dan negara secara keseluruhannya.
Sejak akta ini dikuatkuasakan, MyCC telah memainkan peranan dalam menangani pelbagai bentuk pelakuan anti persaingan atau kartel seperti perjanjian penetapan harga, tipuan bida, dan penyalahgunaan kedudukan dominan atau monopoli bermasalah.
Perkara ini dapat dilihat dalam kes-kes yang telah disiasat oleh MyCC seperti kartel makanan ayam, kes penetapan harga oleh pengusaha feri RORO di Langkawi, kes-kes tipuan bida dalam melibatkan perolehan kerajaan, kes penetapan harga pakej umrah serta kes-kes penyalahgunaan kedudukan dominan. Dalam menguatkuasakan Akta Persaingan 2010, MyCC telah berhadapan dengan pelbagai jenis isu dan cabaran yang menghalang MyCC untuk mencapai objektif akta tersebut dengan efisien dan efektif.
Datuk Armizan bin Mohd Ali
Landskap pasaran pada hari ini adalah tidak sama lagi dengan landskap pasaran semasa Akta Persaingan ini diluluskan oleh Parlimen pada tahun 2010.
Kemunculan ekonomi digital, perkembangan teknologi yang pesat, model perniagaan yang baru serta struktur pasaran yang semakin rumit memerlukan kerangka undang-undang persaingan negara diperkukuhkan agar kekal relevan dan mampu untuk menangani isu-isu persaingan yang kompleks dalam pasaran.
Semasa Akta Persaingan ini mula dikuatkuasakan oleh MyCC pada tahun 2012 teknologi dan gajet elektronik pada masa tersebut tidak secanggih sekarang. Kegiatan kartel yang dilakukan oleh perusahaan pada masa itu pun mudah dikenal pasti dan dibuktikan kerana pakat perusahaan akan mengadakan mesyuarat secara fizikal dan menyediakan minit mesyuarat bercetak.
Membeli advertisement space dalam dan membuat pengumuman untuk naikkan harga produk mereka seperti yang telah berlaku dalam kes penetapan harga bunga oleh sebuah persatuan di Cameron Highlands pada tahun 2012 dan kes penetapan harga oleh pengeluar ais tiub pada tahun 2014.
Apabila perusahaan tahu mesyuarat perbincangan dan pengumuman seperti ini boleh dijadikan bahan bukti yang menunjukkan perlakuan kartel, mereka beralih kepada penggunaan teknologi untuk perlakuan kartel menggunakan WhatsApp group, e-mel dan mesyuarat secara dalam talian.
Seiring dengan kemajuan teknologi dan kewujudan model perniagaan yang baru, perusahaan yang terlibat dalam aktiviti kartel dan penyalahgunaan kedudukan monopoli dalam pasaran juga telah menjadi semakin kreatif dalam melaksanakan modus operandi amalan persaingan— amalan antipersaingan mereka. perbuatan kartel kini menggunakan algorithm, berkomunikasi dengan kartel menggunakan mesej yang terpadam sendiri, disappearing messages dengan izin dan menggunakan teknologi pemadaman digital bagi menghapuskan bukti perbuatan kartel mereka.
Perkara ini merupakan antara penyebab yang mendorong KPDN dan MyCC untuk mengkaji semula Akta Persaingan 2010 bagi memastikan Akta tersebut sentiasa relevan dan selaras dengan tuntutan masa kini. Kajian ini dibuat dengan mengambil kira 14 tahun pengalaman penyiasatan MyCC, benchmarking dengan izin, terhadap prosedur penyiasatan dan penguatkuasaan agensi penguatkuasaan lain di Malaysia dan prinsip keadilan asasi.
Di samping melihat kepada amalan terbaik antarabangsa serta merujuk kepada undang-undang persaingan dan prosedur penyiasatan perundangan persaingan dari negara lain seperti Singapura, United Kingdom, Australia, Kesatuan Eropah, Jepun serta Korea Selatan.
Dato’ Timbalan Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat, hasil kajian yang telah dilaksanakan oleh KPDN dan MyCC menunjukkan bahawa Akta Persaingan 2010 perlu diperkasakan agar sentiasa relevan dengan perkembangan semasa. Pindaan ini penting bagi memastikan MyCC mempunyai keupayaan untuk berdepan dengan perubahan struktur pasaran yang semakin rumit, dinamik, kemampuan untuk menyiasat dan menguatkuasakan Akta Persaingan 2010 terhadap kes-kes antipersaingan yang semakin kompleks serta menangani taktik perusahaan yang semakin kreatif dalam menyembunyikan perlakuan anti persaingan mereka bagi mengelakkan pengesanan dan tindakan penguatkuasaan MyCC.
Justeru, pindaan dilakukan terhadap Akta Persaingan 2010 melalui Rang Undang-undang Persaingan (Pindaan) 2026 bagi memperkukuh serta menambah baik peruntukan berkaitan tindakan penguatkuasaan terhadap amalan antipersaingan seperti kartel dan monopoli bermasalah. Kuasa serta prosedur penyiasatan dan penguatkuasaan MyCC, prosedur pembuatan keputusan di peringkat MyCC serta penambahbaikan terhadap prosedur berkaitan dengan rayuan yang didengari oleh Tribunal Rayuan Persaingan. Untuk makluman, pindaan ini merupakan pindaan pertama kali dilakukan terhadap Akta Persaingan 2010.
Dato’ Timbalan Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat, Rang Undang- undang Persaingan (Pindaan) 2026 ini telah disediakan dan diluluskan oleh Jabatan Peguam Negara serta telah mendapat pertimbangan dan kelulusan Jemaah Menteri dalam mesyuaratnya pada 12 Jun 2026. Saya mohon untuk menghuraikan setiap fasal dalam rang undang-undang ini yang mempunyai 34 fasal seperti berikut.
Fasal 1 mengandungi tajuk ringkas dan peruntukan mengenai permulaan kuat kuasa Akta yang dicadangkan.
Fasal 2 bertujuan untuk meminda seksyen 2 dengan memasukkan tarif baharu entiti kerajaan dan premis serta meminda atau menambah baik beberapa tafsiran sedia ada termasuk pegawai Suruhanjaya, pengerusi, perjanjian, perusahaan dan Suruhanjaya. Fasal ini juga memotong tafsiran perjanjian mendatar dan perjanjian menegak bagi tujuan penyelarasan dengan cadangan pindaan yang diperkenalkan.
Fasal 3 bertujuan untuk meminda seksyen 3 bagi meluaskan ruang lingkup pemakaian Akta kepada apa-apa aktiviti ekonomi dan bukan hanya terhad kepada aktiviti komersial. Selain itu, fasal ini memperuntukkan bahawa Menteri boleh atas syor Suruhanjaya meminda Jadual Pertama melalui perintah yang disiarkan dalam warta.
Fasal 4 bertujuan untuk meminda seksyen 4 bagi memperluaskan skop larangan terhadap perjanjian antipersaingan dengan menggantikan rujukan kepada perjanjian mendatar dan perjanjian menegak kepada istilah “perjanjian” sahaja supaya larangan terhadap perjanjian antipersaingan akan terpakai bagi semua jenis perjanjian tanpa mengira struktur perjanjian tersebut sama ada menegak atau mendatar.
Fasal 5 bertujuan meminda seksyen 5 bagi memperjelaskan syarat-syarat yang perlu dipatuhi oleh perusahaan untuk mendapatkan pelepasan liabiliti daripada larangan di bawah seksyen 4. Pindaan juga dibuat untuk menjelaskan bahawa perusahaan yang berhasrat untuk melepaskan liabiliti di bawah seksyen ini mempunyai beban untuk membuktikan bahawa kesemua syarat kumulatif untuk mendapat pelepasan liabiliti telah dipenuhi.
Fasal 6 bertujuan untuk meminda seksyen 10 dengan memasukkan subseksyen baru 10(5) bagi memperuntukkan bahawa mana-mana perusahaan yang menyalahgunakan kedudukan dominan hendaklah bertanggungan bagi pelanggaran larangan di bawah Akta ini.
Fasal 7 bertujuan untuk mengadakan seksyen baharu 11A bagi memberikan MyCC punca kuasa untuk mengehendaki mana-mana orang termasuk entiti kerajaan untuk memberikan apa-apa maklumat bagi tujuan menjalankan kajian semula pasaran di bawah seksyen 11. Adalah menjadi satu kesalahan jenayah sekiranya orang yang dikehendaki untuk memberikan maklumat kepada MyCC gagal untuk memberikan maklumat tersebut. Peruntukan mengenai kesalahan jenayah ini adalah tidak terpakai kepada entiti kerajaan yang tidak memberikan maklumat yang dikehendaki oleh MyCC.
Fasal 8 bertujuan untuk meminda seksyen 16 bagi menambah baik tatacara penutupan penyiasatan berhubung dengan kes-kes pelanggaran larangan di bawah Akta ini. Pindaan juga dilakukan bagi memberi kuasa kepada MyCC untuk mengeluarkan surat amaran bagi kes-kes yang tidak menyebabkan kesan antipersaingan yang significant dalam pasaran.
Fasal 9 bertujuan untuk meminda seksyen 18 bagi memperjelaskan kuasa MyCC untuk mendapatkan maklumat, butir-butir dan dokumen yang berkaitan dengan penyiasatan pelanggaran larangan Akta persaingan 2010. Pindaan ini turut memberikan kuasa kepada MyCC untuk mendapatkan maklumat yang berkaitan dengan penyiasatannya daripada entiti kerajaan.
Adalah menjadi satu kesalahan jenayah sekiranya orang yang dikehendaki untuk memberikan maklumat kepada MyCC gagal untuk memberikan maklumat tersebut.
Peruntukan mengenai kesalahan jenayah ini adalah tidak terpakai kepada entiti kerajaan yang tidak memberikan maklumat yang dikehendaki oleh MyCC.
Fasal 10 bertujuan untuk meminda seksyen 20 bagi menjelaskan maksud — bagi menjelaskan bahawa kuasa mengakses rekod buku akaun atau benda lain bagi maksud melaksanakan mana-mana fungsi dan kuasa MyCC di bawah Akta ini hendaklah dijalankan oleh seorang pegawai MyCC.
Fasal 11 bertujuan untuk meminda seksyen 21 bagi memperkukuh perlindungan maklumat sulit dan mengadakan kesalahan jenayah bagi pelanggaran obligasi kerahsiaan. Pindaan ini mengenakan kewajipan terhadap mana-mana individu untuk memelihara kerahsiaan dan larangan untuk menzahirkan apa-apa maklumat yang diperoleh daripada sesebuah perusahaan atau individu.
Pindaan ini juga menjelaskan bahawa perlindungan ini merangkumi maklumat perdagangan, perniagaan atau industri yang mempunyai nilai komersial dan ekonomi tinggi yang tidak diketahui secara umum. Selain itu, pindaan ini menjadikannya satu kesalahan bagi mana-mana orang yang melanggar obligasi ini.
Fasal 12 bertujuan untuk meminda seksyen 22 bagi menyelaraskan penggunaan istilah “maklumat” dan “butir-butir” selaras dengan pindaan yang dibuat pada seksyen 11A dan seksyen 18.
Datuk Armizan bin Mohd Ali
Fasal 13 bertujuan untuk meminda seksyen 24 dengan memperuntukkan kesalahan jenayah bagi cubaan untuk memusnahkan, menyembunyikan, mencacatkan atau mengubah rekod dan data bagi menghalang penyiasatan MyCC.
Fasal 14 bertujuan untuk meminda seksyen 25 untuk memberikan pegawai suruhanjaya kuasa untuk membuat salinan rekod, buku, akaun, dokumen dan data berkomputer semasa menjalankan penggeledahan dan penyitaan.
Fasal 15 bertujuan untuk meminda seksyen 34 bagi memperincikan jenis ancaman serta tindak balas yang dilarang untuk dibuat terhadap pengadu atau orang yang membantu MyCC di dalam penyiasatannya.
Fasal 16 bertujuan untuk meminda seksyen 35 bagi meluaskan pemakaian langkah interim kepada semua jenis penyiasatan yang dilakukan oleh MyCC dan bagi menentukan had garis masa yang membolehkan langkah interim untuk dibuat oleh MyCC.
Fasal 17 bertujuan untuk meminda seksyen 36 bagi menambah baik prosedur berkaitan dengan pengeluaran keputusan yang dicadangkan.
Fasal 18 dan 19 bertujuan meminda seksyen 37 dan untuk menstruktur semula prosedur representasi lisan yang perlu untuk dilaksanakan oleh MyCC serta menyatukan peruntukan berkaitan pendengaran di bawah seksyen 38 ke dalam seksyen 37 dan memotong seksyen 38 memandangkan peruntukan hak perusahaan untuk didengari kini telah diperuntukkan dengan jelas dalam seksyen 37.
Fasal 20 bertujuan untuk mengadakan seksyen baharu 38A bagi memperkenalkan mekanisme tawaran penyelesaian (offer of settlement). Mekanisme ini membolehkan perusahaan yang mengakui liabiliti untuk menyelesaikan kes penyiasatan dengan lebih awal dan mendapat pengurangan penalti sehingga 40 peratus.
Di bawah pindaan ini, MyCC kini mempunyai kuasa untuk membuat tawaran penyelesaian kepada perusahaan, tertakluk kepada apa-apa syarat yang dikenakan oleh MyCC, selepas penyampaian keputusan yang dicadangkan di bawah seksyen 36 dan sebelum membuat keputusan di bawah seksyen 40. Bagi menerima tawaran tersebut, perusahaan perlu mengakui liabiliti bagi pelanggaran larangan Akta Persaingan 2010.
Fasal 21 bertujuan untuk meminda seksyen 39 bagi menjelaskan situasi bila mana MyCC boleh mengeluarkan keputusan tiada pelanggaran larangan Akta Persaingan 2010 dan prosedur yang perlu dipatuhi oleh MyCC apabila mengeluarkan keputusan tiada pelanggaran di bawah seksyen ini.
Fasal 22 bertujuan untuk meminda seksyen 40 bagi menambah baik prosedur yang perlu dipatuhi oleh MyCC apabila mengeluarkan keputusan pelanggaran di bawah seksyen ini dan untuk memperuntukkan punca kuasa kepada MyCC untuk mengenakan caj pembayaran lewat terhadap perusahaan yang gagal untuk membayar penalti kewangan yang telah dikenakan kerana telah melanggar larangan Akta Persaingan 2010.
Fasal 23 bertujuan untuk meminda seksyen 41 bagi menambah baik syarat yang melayakkan perusahaan untuk diberikan kelonggaran dan pengurangan jumlah penalti kerana telah mengaku bersalah bagi penglibatan terhadap perjanjian anti persaingan dan telah memohon kelonggaran di bawah rejim kelonggaran.
Fasal 24 bertujuan untuk meminda seksyen 42 bagi mengemas kini susunan peruntukan tersebut serta memberikan kuasa kepada mahkamah tinggi untuk mengenakan bunga atas kadar penghakiman biasa ke atas caj pembayaran lewat yang tidak boleh dikenakan oleh MyCC kepada perusahaan yang gagal untuk membayar penalti kewangan mengikut tempoh masa yang telah ditetapkan.
Fasal 25 bertujuan untuk meminda seksyen 43 bagi memperjelaskan bahawa aku janji hanya boleh diterima sebelum MyCC mengeluarkan keputusan yang dicadangkan di bawah seksyen 36. Pindaan ini juga dibuat bagi memberikan MyCC kuasa untuk membuka semula penyiasatannya yang telah ditutup susulan daripada penerimaan satu aku janji daripada perusahaan sekiranya MyCC mendapati bahawa perusahaan tersebut gagal mematuhi aku janji yang telah diterima sebelum ini.
Fasal 26 bertujuan untuk meminda seksyen 51 bagi memperjelaskan bahawa notis rayuan kepada Tribunal Rayuan Persaingan hendaklah difailkan dalam tempoh 30 hari dari tarikh keputusan MyCC disampaikan kepada perayu.
Fasal 27 bertujuan untuk meminda seksyen 54 bagi memastikan prosiding Tribunal Rayuan Persaingan (TRP) masih boleh diteruskan apabila mana-mana ahlinya tidak dapat mengambil bahagian disebabkan oleh penyakit, peletakan jawatan, pengosongan jawatan atau apa-apa sebab lain. Dalam keadaan sedemikian, TRP boleh meneruskan prosiding dengan anggota yang tinggal dengan syarat kuorum bagi pendengaran tersebut dipenuhi.
Fasal 28 dan 29 bertujuan untuk memotong subseksyen 58(3) yang menjadikan keputusan TRP sebagai keputusan muktamad serta mengadakan seksyen baharu 58A bagi membolehkan rayuan terus untuk dibuat ke mahkamah tinggi oleh mana-mana pihak, termasuk MyCC, terhadap keputusan TRP. Pindaan ini selanjutnya memperuntukkan bahawa rayuan itu hendaklah terbatas hanya kepada persoalan undang-undang yang berbangkit dalam perjalanan rayuan dan amaun penalti kewangan yang dikenakan.
Fasal 30 bertujuan untuk mengadakan seksyen baharu 64A dan 64B. Seksyen 64A memperuntukkan perlindungan terhadap identiti pemberi maklumat dan seksyen 64B pula memberikan punca kuasa kepada MyCC untuk memberikan ganjaran kepada pemberi maklumat yang memberikan maklumat yang membawa kepada penemuan apa- apa pelanggaran larangan atau membawa kepada apa-apa sabitan kesalahan jenayah di bawah Akta Persaingan 2010.
Fasal 31 bertujuan untuk meminda seksyen 65 bagi memperuntukkan bahawa Menteri pada menjalankan kuasanya untuk membuat peraturan-peraturan di bawah Akta Persaingan 2010 adalah tertakluk kepada syor MyCC.
Fasal 32 bertujuan untuk meminda seksyen 66 bagi memberikan kuasa kepada MyCC untuk mengeluarkan garis panduan mengenai tatacara yang akan digunakan untuk pentadbiran mana-mana peruntukan di bawah Akta Persaingan 2010.
Fasal 33 bertujuan untuk meminda Jadual Pertama Akta Persaingan 2010 bagi mengemas kini senarai perundangan yang dikecualikan daripada pemakaian Akta Persaingan 2010.
Lanjutan daripada pindaan ini, aktiviti komersial atau ekonomi yang dikawal selia oleh perundangan-perundangan yang disenaraikan di bawah akta adalah tidak tertakluk kepada Akta Persaingan 2010 iaitu Akta Komunikasi dab Multimedia 1998, Akta Suruhanjaya Tenaga 2001, Akta Kemajuan Petroleum 1974 dan Peraturan-peraturan Petroleum 1974 [P.U. (A) 432/1974] setakat mana aktiviti komersial atau ekonomi yang dikawal selia di bawah undang-undang bertulis ini berkaitan secara langsung dengan operasi huluan yang merangkumi cari gali, eksploitasi, perolehan dan mendapatkan petroleum sama ada di daratan atau luar pantai Malaysia. Seterusnya Akta Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia 2017, Akta Bekalan Gas 1993, Akta Perkhidmatan Pos 2012.
Fasal 34 bertujuan untuk meminda Jadual Kedua Akta Persaingan 2010 bagi membetulkan kesilapan tipografi.
Dato’ Timbalan Yang di-Pertua, saya mohon mencadangkan.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Yang Berhormat Menteri, ada Yang Berhormat menyokong?
Timbalan Menteri Belia dan Sukan - Tuan Mordi anak Bimol
Saya mohon menyokong.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato' Mohd Nor
Baik.
Tuan Mordi anak Bimol
Tuan Yang di-Pertua, saya memohon izin untuk mengalu-alukan kehadiran pemimpin-pemimpin akar umbi dari Parlimen Rasah yang diaturkan oleh YB Rasah...
[Tepuk]
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Ahli-ahli Yang Berhormat, masalah di hadapan Majlis ialah rang undang-undang bernama suatu akta untuk meminda Akta Persaingan 2010 dibacakan kali yang kedua sekarang dan terbuka untuk dibahaskan.
Yang Berhormat, Yang Berhormat, saya menerima sejumlah 18 orang Yang Berhormat akan berbahas. Senarainya adalah seperti berikut. Pohon Yang Berhormat, Yang Berhormat dinamakan ini mengambil maklum supaya perjalanan perbahasan dapat berjalan lancar.
Dimulakan perbahasan pembukaan oleh Yang Berhormat Kota Belud, diikuti yang Berhormat Putatan, Yang Berhormat Pengkalan Chepa, Yang Berhormat Betong, Yang Berhormat Rompin, Yang Berhormat Rasah, Yang Berhormat Kangar, Yang Berhormat Kepong, Yang Berhormat Bagan Serai, Yang Berhormat Jelutong, Yang Berhormat Besut, Yang Berhormat Kubang Pasu, Yang Berhormat Ampang, Yang Berhormat Pokok Sena, Yang Berhormat Sik, Yang Berhormat Parit Buntar, Yang Berhormat Tumpat dan diakhiri oleh Yang Berhormat Jempol.
Memandangkan jam pukul 1.00, dengan sedemikian saya tangguh mesyuarat untuk solat dan juga rehat. Majlis akan bermula semula pada jam 2.30 petang.
[Dewan ditempohkan pada pukul 1.00 tengah hari]
[Mesyuarat disambung semula pada pukul 2.30 petang]
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
[Timbalan Yang di-Pertua (Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor)
mempengerusikan Mesyuarat] Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
[Membaca sepotong doa] Bismillahirrahmanirrahim, assalamualaikum Yang Berhormat-Yang Berhormat. Kita mulakan perbahasan. Pembahas yang pertama, Yang Berhormat Kota Belud. Dipersilakan.
Puan Isnaraissah Munirah binti Majilis @ Fakharudy - Kota Belud
Bismillahirrahmanirrahim, terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Adam Smith dalam karyanya, The Wealth of Nations menyebut "People of the same trade seldom meet together, even for merriment and diversion, but the conversation ends in a conspiracy against the public, or in some contrivance to raise prices." Apakah maksud sebenar amaran Adam Smith di dalam merealitikan kehidupan rakyat? Bahasa mudahnya begini. Bayangkan ada tiga atau empat syarikat gergasi yang menguasai pembekalan baja atau makanan ayam di negara kita. Mengikut lumrah ekonomi, mereka sepatutnya bersaing sesama sendiri dengan menawarkan harga paling murah demi memikat hati pembeli.
Tetapi apa yang berlaku adalah di bawah manipulasi pasaran yang dinamakan kartel. Pemilik syarikat-syarikat ini boleh duduk semeja, berpakat secara rahsia dan bersetuju untuk menetapkan satu harga siling yang tinggi secara seragam. Mereka tidak lagi bersaing, sebaliknya mereka membuli pasaran. Kesan pakatan jahat ini, penternak ayam dan petani kita terpaksa membeli dedak dan baja pada harga yang tinggi kerana tiada pilihan alternatif.
Seterusnya, peniaga kedai makan terpaksa menaikkan harga hidangan makanan dan akhirnya, pengguna dan ibu bapa yang mengais rezeki harian terpaksa membayar harga yang mahal hanya untuk sekilo ayam atau sepinggan nasi di atas meja makan. Pengguna kita di luar bandar dan di pedalaman mungkin kurang arif mengenai istilah seperti kartel atau monopoli tetapi apa yang pasti, mereka lah yang paling merasai kesannya. Justeru, pindaan hari ini adalah jawapan bagi melindungi rantaian ekonomi rakyat di bawah.
Tuan Yang di-Pertua, melihat kepada pindaan RUU ini, saya menyokong usaha kerajaan kepada pindaan seksyen 3 dan seksyen 58A yang bagi saya ia nya akan menutup loopholes perundangan yang selama ini boleh dimanipulasi oleh pihak berkepentingan. Skop liputan pasaran yang sebelum ini hanya terhad kepada aktiviti ekonomi, telah diluaskan kepada semua aktiviti ekonomi adalah satu langkah yang baik, begitu juga dengan pengenalan seksyen 58A yang membenarkan rayuan terus ke mahkamah tinggi adalah satu reform litigasi yang matang. Ini dapat mengelakkan penyalahgunaan proses mahkamah yang memakan masa.
Tuan Yang di-Pertua, terdapat beberapa isu dan perkara yang perlukan penjelasan oleh kerajaan. Pertama, menyentuh mengenai fasal 33, khususnya mengenai penggantian Jadual Pertama berkaitan pengecualian Akta Kemajuan Petroleum 1974. Peruntukan ini secara nyata mengecualikan operasi huluan ataupun upstream operations, minyak dan gas daripada pemakaian Akta Persaingan.
Persoalan saya kepada kerajaan, memandangkan Sabah dan Sarawak mempunyai hak kedaulatan ke atas Pelantar Benua dan dasar laut kami bawah North Borneo (Alteration of Boundaries) Order in Council 1954, seksyen 24, Ordinan Tanah, bab 68 dan Oil Mining Ordinance 1958, adakah pengecualian operasi huluan di bawah fasal 33 ini telah meneliti dan mengambil kira sebarang implikasi ke atas perundangan wilayah kami?
Adakah hak kawal selia Sabah dan Sarawak ke atas sumber asli kami akan terkesan pasca pindaan ini? Saya mohon jaminan daripada kementerian bahawa pemakaian Akta Persaingan ke atas aktiviti petroleum dan gas kelak, termasuk sektor hiliran, tidak akan sama sekali tembung dengan entiti serta syarikat milik Kerajaan Sabah dan Sarawak yang diberikan mandat untuk mengawal selia industri petroleum di wilayah kami.
Kedua adalah mengenai isu perlindungan dan ganjaran pemberi maklumat di bawah seksyen 64A dan 64B. Saya mohon jaminan daripada kerajaan, bagaimanakah garis panduan perlindungan ini dibentuk agar pembocor maklumat daripada syarikat konglomerat tidak terdedah kepada ancaman kerjaya atau tindakan balas tersembunyi?
Saya juga ingin tahu, sejauh mana ketelusan tadbir urus dan ganjaran tersebut?
Ketiga adalah mengenai cadangan kawalan terhadap notis entiti kerajaan iaitu di bawah seksyen 11A. Jika diteliti pada subseksyen (6) dan (7), draf undang-undang ini tidak meletakkan frasa “melakukan sesuatu kesalahan ke atas entiti kerajaan sekiranya mereka gagal patuh”.
Oleh itu secara perundangan, kegagalan entiti kerajaan untuk patuh ditafsirkan sebagai pelanggaran kewajipan pentadbiran ataupun statutory sahaja dan bukannya satu kesalahan jenayah yang boleh disabitkan hukuman denda atau penjara sepertimana yang dikenakan ke atas orang awam atau syarikat swasta di bawah subseksyen (4) dan (5). Saya ingin mencadangkan agar pihak kementerian mengeluarkan garis panduan bertulis bagi memastikan tiada agensi atau jabatan kerajaan yang melengah-lengahkan siasatan MyCC atas alasan birokrasi.
Keempat, saya ingin sentuh mengenai implikasi mekanisme tawaran penyelesaian melalui seksyen 38A.
Puan Isnaraissah Munirah binti Majilis @ Fakharudy - Kota Belud
Melalui seksyen ini, kita memperkenalkan fast track procedure dengan diskaun penalti sehingga 40 peratus sekiranya perusahaan tersebut mengaku kalah awal.
Persoalan saya, bagaimanakah kerajaan ingin memastikan pengurangan denda sehingga 40 peratus ini dianggap sesuatu yang ringan kepada syarikat monopoli berstatus gergasi atau berskala mega? Saya anggap ini satu peratusan yang besar yang ditawarkan kepada mereka.
Justeru saya mohon juga kerajaan jelaskan apakah pertimbangan yang akan digunakan MyCC bagi menentukan kadar pengurangan denda tersebut? Kes sepertimana kah yang akan mendapatkan pengurangan 40 peratus, 30 peratus atau kurang daripada itu? Kita tidak mahu denda, selepas itu diskaun, ini akhirnya dianggap sebagai cost of doing business ataupun kos operasi biasa sahaja bagi mereka.
Sebagai penutup Tuan Yang di-Pertua, ingin saya titipkan pesanan kepada kerajaan dan kepada MyCC. Undang-undang yang dipinda ini, saya yakin dapat melindungi rakyat, tetapi apa yang paling penting adalah penguatkuasaannya. Tiada guna kita luluskan di sini, akhirnya tindakan tegas tidak diambil, atau lebih memburukkan lagi jika berlaku selective enforcement.
Namun begitu, bersandarkan rekod dan kuasa yang ada pada MyCC selepas ini, saya meletakkan keyakinan kepada integriti dan keupayaan MyCC untuk menggalas amanah yang diberikan rakyat ini dengan adil, berani dan telus. Sekian, Tuan Yang di- Pertua saya mohon menyokong. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Terima kasih, Yang Berhormat Kota Belud. Dipersilakan Yang Berhormat Putatan.
Datuk Ir. Shahelmey bin Yahya - Putatan
Terima kasih, Dato' Yang di-Pertua.
Putatan ingin membangkitkan tentang peruntukan berkaitan pemberian maklumat berkaitan kajian semula pasaran. Secara dasarnya, Putatan berpandangan bahawa perihal yang digariskan dalam peruntukan baharu seksyen 11A tersebut berupaya memperluaskan lagi peranan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC), untuk mengenal pasti sebarang aktiviti ekonomi yang berunsur atau menjurus kepada amalan anti persaingan.
Peruntukan baharu tersebut mengingatkan Putatan kepada satu kajian semula pasaran yang telah dijalankan oleh MyCC terhadap platform digital. Menurut kenyataan Yang Berhormat Menteri pada Majlis Peluncuran Kajian Semula Pasaran Ekosistem Ekonomi Digital pada 10 Februari lalu. Kajian semula yang telah dijalankan selama 18 hari tersebut telah mengenal pasti unsur anti persaingan yang diamalkan oleh platform- platform dalam talian yang menawarkan perkhidmatan berkaitan pelancongan.
Berdasarkan kenyataan tersebut, Putatan menyedari hakikat bahawa amalan anti persaingan boleh menekan syarikat pengendali perkhidmatan untuk mematuhi klausa harga yang ditetapkan oleh penyedia platform. Dalam kajian semula tersebut, MyCC mendapati bahawa pariti harga telah dijadikan antara klausa pematuhan kepada syarikat-syarikat perhotelan untuk menawarkan harga yang lebih rendah, berbanding platform-platform dalam talian yang lain.
Dapatan daripada kajian semula pasaran tersebut telah membuka mata Putatan untuk mendukung perluasan kuasa MyCC dalam mengekang amalan pemanipulasian pasaran yang pada akhirnya memangsakan pengguna. Justeru, Putatan berpendirian bahawa skop perluasan kuasa MyCC yang digariskan dalam seksyen 11A merupakan satu keperluan perundangan yang boleh memperkukuhkan kredibiliti MyCC dalam menjalankan kajian semula pasaran dengan lebih terperinci.
Pengukuhan kredibiliti tersebut penting, bagi memastikan MyCC dapat memuktamadkan satu-satu justifikasi berkaitan amalan persaingan dalam satu-satu aktiviti ekonomi. Pemberian kuasa untuk mendapatkan maklumat daripada mana-mana pihak bagi tujuan pelaksanaan kajian semula pasaran diharapkan mendorong MyCC untuk menetapkan pengesyoran yang boleh mewujudkan ruang persaingan yang lebih saksama kepada setiap pengusaha dalam satu-satu aktiviti ekonomi.
Bercakap tentang persaingan yang saksama, Putatan juga meletakkan harapan agar pindaan seksyen 16 yang menggariskan tentang perluasan tatacara penyiasatan MyCC dapat menoktahkan amalan kartel yang melibatkan syarikat-syarikat yang menawarkan pakej umrah. Kartel umrah yang masih aktif beroperasi pada hari ini boleh membataskan pilihan pengguna untuk memutuskan pakej yang betul-betul memadai dengan bajet mereka.
Putatan difahamkan, bahawa sebanyak 87 buah syarikat telah disiasat kerana disyaki terlibat dalam pakatan untuk menentukan harga pakej. Oleh sebab itu, menerusi penguatkuasaan seksyen 16 ini nanti, MyCC perlu memperincikan dapatan daripada setiap siasatan yang telah dijalankan. Dapatan tersebut sewajarnya dimaklumkan kepada umum sebagai panduan kepada pengguna.
Panduan tersebut penting kepada bakal jemaah umrah untuk memahami trend penawaran pakej umrah yang adil berdasarkan kemampuan kewangan mereka.
Berhubung dengan kedua-dua kajian kes yang dinyatakan tadi, Putatan meletakkan harapan agar pindaan Akta Persaingan ini dapat merubah landskap perniagaan khususnya yang melibatkan perusahaan bumiputera.
Perubahan tersebut penting untuk memastikan para pengusaha perniagaan dapat menumpukan aspek pembangunan kualiti produk serta perkhidmatan secara progresif. Tumpuan tersebut berupaya mewujudkan persekitaran perniagaan yang lebih kompetitif tanpa membataskan ruang persaingan bersama pengusaha-pengusaha perniagaan yang lain.
Dato' Yang di-Pertua, sekian sahaja ucapan perbahasan Putatan bagi Rang Undang-undang Persaingan (Pindaan) 2026 ini. Putaran mohon menyokong.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Terima kasih, Yang Berhormat Putatan. Dipersilakan Yang Berhormat Betong.
Dato Dr. Richard Rapu @ Aman anak Begri - Betong
Terima kasih, Dato' Yang di-Pertua. Selamat petang, salam sejahtera. Terima kasih sekali lagi di atas peluang untuk mengambil bahagian dalam perbahasan Rang Undang-undang Persaingan (Pindaan) ini dan Betong akan menyentuh hanya dua perkara sahaja, khususnya yang melibatkan pindaan untuk seksyen 4 dan seksyen 16, Akta Persaingan 2010.
Pada asasnya saya menyokong usaha kerajaan untuk memperkukuh ekosistem persaingan yang sihat. Namun beberapa persoalan Dato' Yang di-Pertua, yang penting perlu dijelaskan, supaya Dewan ini memahami dengan jelas hala tuju pindaan yang dicadangkan. Pertamanya berhubung seksyen 4. Dato' Yang di-Pertua, seksyen ini merupakan nadi utama Akta Persaingan kerana ia melarang perjanjian anti persaingan termasuk aktiviti seperti kartel, penetapan harga, pembahagian pasaran dan juga manipulasi tender.
Persoalannya, yang saya ajukan kepada Yang Berhormat Menteri ialah apakah kelemahan yang dikenal pasti dalam peruntukan sedia ada sehingga memerlukan kita membuat pindaan pada hari ini? Adakah kerajaan mendapati bahawa bentuk kartel hari ini semakin kompleks, lebih tersusun dan juga mungkin sukar dikesan, khususnya melalui platform digital, penggunaan algoritma harga serta rangkaian perniagaan rentas sempadan? Jika benar, apakah perubahan besar yang ingin dicapai melalui pindaan ini?
Dato' Yang di-Pertua, adakah ia bertujuan untuk mempercepatkan tindakan penguatkuasaan atau memperkukuhkan standard pembuktian, atau memperluaskan skop kesalahan supaya pihak yang terlibat dalam segala aktiviti seperti kartel ini tidak lagi dapat berselindung di sebalik struktur korporat yang kompleks? Dato' Yang di- Pertua, yang lebih penting bagaimanakah rakyat akan merasai segala manfaat secara langsung kerana akhirnya mangsa utama aktiviti kartel ini ialah, kita sebagai pengguna.
Apabila kartel berlaku, sudah tentu harga barang meningkat. Pilihan pengguna menjadi terhad, dan akhirnya kos kehidupan rakyat akan menjadi lebih tinggi atau melambung.
Justeru, bolehkah Menteri menjelaskan bagaimana menjelaskan bagaimana pindaan ini akan membantu untuk kita mewujudkan satu pasaran yang lebih kompetitif, harga yang lebih adil dan peluang yang lebih luas, terutamanya kepada perusahaan kecil dan sederhana untuk kita sama-sama bersaing secara saksama.
Dato Dr. Richard Rapu @ Aman anak Begri - Betong
Dato' Yang di-Pertua, keduanya berhubung peranan dan keupayaan MyCC. Kita semua bersetuju bahawa undang-undang yang baik tidak membawa makna sekiranya penguatkuasaannya lemah. Persoalannya, sejauh manakah pindaan ini akan memperkasakan MyCC untuk mengesan, untuk menyiasat dan juga membanteras kartel dengan lebih berkesan? Adakah MyCC akan diberikan kuasa penyiasatan yang lebih mantap, akses kepada bukti digital yang lebih luas serta mekanisme kerjasama yang lebih kukuh dengan agensi penguatkuasaan lain?
Dato' Yang di-Pertua, bagaimanakah kerajaan memastikan bahawa pemain industri yang melanggar undang-undang benar-benar berdepan risiko yang tinggi sehingga wujud kesan pencegahan yang berkesan?
Dato' Yang di-Pertua, seterusnya, perkara kedua yang saya ingin sentuh ialah mengenai seksyen 16. Betong difahamkan pindaan ini memberikan lebih fleksibiliti kepada MyCC dalam kita menentukan kaedah penyelesaian kes dan pematuhan.
Persoalannya, adakah pendekatan baharu ini akan mengimbangi antara pendidikan, advokasi dan juga penguatkuasaan?
Kita tidak mahu semua kes berakhir dengan tindakan menghukum semata-mata.
Dalam keadaan tertentu Dato' Yang di-Pertua, pendekatan pematuhan dan juga pembetulan mungkin lebih berkesan. Khususnya bagi syarikat-syarikat yang melakukan pelanggaran secara tidak sengaja.
Namun, pada masa yang sama, bagaimanakah kerajaan memastikan bahawa kelonggaran ini tidak disalah tafsir sebagai satu ruang untuk pelaku kartel mengelakkan tindakan yang tegas?
Dato' Yang di-Pertua, apakah garis panduan yang akan digunakan oleh MyCC untuk kita menentukan segala kes yang layak diberikan komitmen pematuhan dan kes yang mesti dikenakan tindakan penguatkuasaan penuh?
Dato' Yang di-Pertua, selain itu, adakah pindaan ini akan membolehkan MyCC menumpukan sumbernya kepada kes-kes yang lebih kompleks dan yang lebih berimpak tinggi seperti kartel yang berskala besar, manipulasi tender kerajaan, umpamanya dan penyalahgunaan kedudukan dominan yang memberi kesan langsung kepada ekonomi negara kita? Jika ya, apakah sasaran prestasi yang ditetapkan bagi kita memastikan pendekatan baharu ini benar-benar dapat meningkatkan kecekapan siasatan dan keberkesanan penguatkuasaan?
Dato' Yang di-Pertua, akhirnya ukuran kejayaan pindaan ini bukan sekadar berapa banyak kes yang disiasat atau berapa besar denda yang dikenakan. Ukuran sebenarnya ialah sama ada kita sebagai pengguna dapat menikmati harga yang lebih kompetitif dan usahawan di luar sana akan mendapat segala peluang yang lebih adil untuk berkembang dan sudah tentu ekonomi negara akan menjadi lebih dinamik serta berdaya saing.
Oleh itu, Betong mohon agar Yang Berhormat Menteri dapat memberikan penjelasan yang tuntas mengenai segala impak sebenar pindaan ini terhadap pengguna, dunia perniagaan dan masa depan persaingan ekonomi Malaysia. Sekian, terima kasih. Saya mohon menyokong.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Terima kasih Yang Berhormat Betong. Dipersilakan, Yang Berhormat Rompin.
Dato' Haji Abdul Khalib bin Abdullah - Rompin
*Bismillahirahmanirahim.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,* salam sejahtera. Dato' Yang di-Pertua, pertama sekali saya ingin merakam terima kasih kerana memberi ruang kepada Rompin untuk sama-sama membahaskan Rang Undang-undang Persaingan (Pindaan) 2026.
Apabila kita berbicara tentang persaingan, kita sebenarnya sedang berbicara tentang periuk nasi rakyat di luar sana. Kita sering mendengar laungan reformasi struktur dan tata kelola yang adil di bawah payung MADANI. Namun, adakah undang-undang yang ada hari ini benar-benar mampu mengekang monopoli organisasi kartel bersaiz gergasi atau sekadar menjadi harimau di atas kertas yang hanya mengaum tetapi tidak boleh menggigit? Saya kira, pindaan ini amat kritikal kerana tanpa pasaran yang kompetitif, rakyat di luar sanalah yang terus-menerus- menjadi mangsa manipulasi harga.
Dato' Yang di-Pertua, saya ingin menarik perhatian Dewan kepada satu fasal yang bagi saya amat kritikal, paling terkini dan benar-benar menyentuh periuk nasi rakyat marhaen iaitu fasal 16 yang meminda seksyen 35 [Akta 712]. Fasal ini meluaskan ruang lingkup perlindungan tindakan balas ekonomi terhadap pemberi maklumat atau whistleblower. Sebelum ini rakyat atau peniaga kecil di peringkat akar umbi mempunyai maklumat salah laku kartel tetapi mereka memilih untuk mengunci mulut. Kenapa?
Kerana mereka takut dipulau dan dihancurkan perniagaan mereka.
Sebagai contoh terkini, kita lihat bagaimana isu manipulasi bekalan benih padi atau pakatan harga barangan makanan asas berlaku apabila pembekal kecil atau pengguna cuba menjadi whistleblower untuk melaporkan amalan monopoli ini. Syarikat gergasi dengan mudahnya akan menamatkan kontrak mereka serta-merta atau menahan segala bayaran yang sepatutnya dijelaskan kepada mereka.
Jadi, perluasan syarat tindakan balas ekonomi dalam pindaan ini adalah merupakan satu perkembangan yang sangat dialu-alukan. Namun, sebagai komen dan penambahbaikan dari saya kepada kementerian dan MyCC, janganlah kita hanya bergantung kepada larangan di atas kertas sahaja.
Suruhanjaya mesti mewujudkan satu rejim sokongan yang realistik iaitu penubuhan tabung sokongan undang-undang percuma, legal defense fund khas untuk pemberi maklumat pengguna. Rakyat kita tiada duit untuk naik turun mahkamah, Yang Berhormat Menteri. Jangan biarkan kartel korporat gergasi yang kaya raya ini menggunakan saman sivil atau ugutan guaman yang mahal bagi menggertak rakyat biasa yang berani bersuara demi kepentingan negara. Tata kelola MADANI mesti melindungi yang lemah, bukan membiarkan golongan whistleblower ini terkontang- kanting sendirian.
Yang di-Pertua, antara inti pati penting seterusnya dalam pindaan ini merujuk kepada blue bill ini adalah pengenalan rejim kawalan penggabungan korporat, major control. Sebelum ini Malaysia ketinggalan kerana kita tidak mempunyai kuasa menyekat syarikat besar daripada bergabung untuk membentuk monopoli baharu.
Saya ambil contoh terdekat yang dirasai oleh jutaan rakyat marhaen iaitu isu penggabungan platform serantau atau penguasaan mutlak dalam sektor pembayaran tol dan pengangkutan awam seperti Touch ‘n Go, apabila tiada persaingan, rakyat tiada pilihan. Pindaan untuk memberi kuasa menyiasat dan menyekat penggabungan yang menjejaskan persaingan ini adalah satu langkah yang betul. Begitu juga dengan pengenalan rejim perlindungan pemberi maklumat (whistleblower) baru-baru ini serta perluasan fungsi kajian semula pasaran (market review). Ini adalah instrumen penting untuk mengesan pakatan kartel dari peringkat akar umbi.
Dato' Yang di-Pertua, bagi memastikan RUU ini benar-benar mantap dan tidak menjadi alat terpilih, saya ingin mengemukakan dua cadangan daripada Rompin.
Pertama, kejelasan nilai ambang, (clear threshold). Kerajaan mesti menetapkan formula dan nilai ambang kewangan yang jelas bagi syarikat yang ingin bergabung. Jangan biarkan ia tertakluk kepada budi bicara mutlak Yang Berhormat Menteri tanpa garis panduan yang telus kerana budi bicara tanpa garis panduan adalah pintu masuk kepada kronisme norma baru.
Kedua, ketegasan terhadap syarikat berkaitan kerajaan (GLC). Saya mohon jaminan daripada kementerian, adakah undang-undang ini akan terpakai sama kepada GLC yang memonopoli sektor-sektor strategik? Janganlah kita bertegas dengan peniaga swasta tapi pejam mata apabila agensi atau GLC sendiri yang melakukan amalan anti persaingan atas nama kepentingan nasional. Tatakelola tidak boleh ada dwistandard.
Sebagai kesimpulannya, Dato' Yang di-Pertua, Rompin menyokong pindaan RUU Persaingan (Pindaan) 2026 ini tapi dengan syarat ia dilaksanakan tanpa perlindungan politik kepada mana-mana pihak.
Dato' Haji Abdul Khalib bin Abdullah - Rompin
Jangan biarkan pindaan ini sekadar menjadi kosmetik politik untuk menunjukkan kononnya kerajaan hari ini pro-rakyat sedangkan kartel bekalan makanan dan rantaian ekonomi masih gagal ditundukkan. Berubahlah daripada sekadar melaungkan slogan kepada pelaksanaan yang berintegriti.
Terima kasih Yang Berhormat Menteri yang sanggup menunggu perbahasan kami dengan tekun. Baju Yang Berhormat, batik Yang Berhormat Menteri pun cantik hari ini. Terima kasih Dato’ Yang di-Pertua.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Terima kasih Yang Berhormat Rompin. Selanjut, saya mempersilakan Yang Berhormat Kangar.
Tuan Zakri bin Hassan - Kangar
Bismillahirrahmanirrahim, assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Selamat petang. Terima kasih Dato' Yang di-Pertua atas peluang yang diberikan kepada saya untuk membahaskan RUU Akta— meminda Akta Persaingan 2010. Jadi, seperti yang telah dibentangkan oleh YB. Menteri tadi, Akta Persaingan 2010 adalah bertujuan untuk mewujudkan sistem pasaran yang lebih adil, telus dan kompetitif dan ia juga bertujuan melarang amalan anti persaingan seperti kartel, penetapan harga, pembahagian pasaran, pakatan, bidaan serta penyalahgunaan kedudukan dominan oleh pemain industri.
Namun sehingga kini, setelah lebih sedekad, pelaksanaan masih belum dapat dijalankan dengan lebih kemas memandangkan terdapat banyak rungutan mengenai kartel, mengenai kos sara hidup yang tinggi, penguasaan pasaran oleh syarikat-syarikat besar dan akhir sekali yang menjadi habuan ataupun yang menjadi masalah adalah PMKS dan ini sebenarnya kita perlu angkat supaya PMKS menjadi satu persatuan ataupun penggiat yang benar-benar aktif dan bersaing secara lebih adil dan harapan saya, pindaan Akta Persaingan ini dapat menstabilkan pasaran dan mengangkat PMKS di tahap yang lebih tinggi berbanding pada hari ini.
Dato’ Yang di-Pertua, saya pergi kepada fasal 7, “Memasukkan seksyen baharu 11A ke dalam Akta 712 untuk mengadakan peruntukan bagi kuasa Suruhanjaya bagi maksud menjalankan kajian semula pasaran.” Saya tidak mempertikaikan keperluan Suruhanjaya menjalankan kajian semula pasaran. Kajian yang baik boleh membantu mengenal pasti kelemahan struktur pasaran, monopoli dan amalan antipersaingan.
Namun persoalan, sejauh manakah kuasa baru ini mempunyai had yang jelas?
Apakah maksud kajian semula pasaran? Adakah istilah ini ditakrifkan dengan jelas dalam akta? Jika tidak, Suruhanjaya mempunyai budi bicara yang sangat luas untuk meminta maklumat daripada mana-mana entiti kerajaan atas alasan menjalankan kajian.
Jadi, mengapakah Suruhanjaya memerlukan kuasa untuk mendapatkan maklumat daripada entiti kerajaan bagi tujuan kajian semula pasaran sedangkan tiada siasatan terhadap pelanggaran undang-undang. Adakah entiti-entiti kerajaan boleh menolak permintaan yang terlalu luas atau yang tidak berkaitan dengan kajian?
Jika kajian semula pasaran ini dapat mengenal pasti kegagalan dasar entiti kerajaan yang berkenaan atau amalan antipersaingan dalam sektor tertentu, adakah kerajaan komited untuk melaksanakan syor suruhanjaya dalam tempoh masa tertentu?
Dia ada tempoh, jadi kita tak boleh nak drag terlalu lama.
Dato’ Yang di-Pertua, saya pergi kepada fasal 10 meminda seksyen 20, ini berkaitannya untuk mengakses rekod, buku, akaun dan lain-lain, dijalankan oleh seorang pegawai Suruhanjaya. Persoalannya, apakah kelemahan seksyen ini yang menyebabkan ia nya perlu dipinda? Siapakah yang dimaksudkan dengan pegawai Suruhanjaya? Siapa yang memilih pegawai Suruhanjaya yang berkenaan?
Dari segi kuasa mengakses rekod, apakah jaminan bahawa maklumat-maklumat ini tidak disalahgunakan dan tidak dibocorkan? Ini memandangkan ia melibatkan data pelanggan, maklumat kewangan dan lain-lain. Jadi, adakah pegawai boleh mengakses rekod hanya berdasarkan keputusan dalaman Suruhanjaya atau ia perlu memenuhi syarat-syarat tertentu terlebih dahulu? Ini fasal 10, seksyen 20.
Dato’ Yang di-Pertua, saya pergi kepada fasal 30 seksyen baru 6A, 6B.
Perlindungan kepada pemberi maklumat (whistleblower) ya. Secara prinsip, langkah ini positif kerana kes kartel dan pakatan sulit lazimnya sukar dibuktikan tanpa maklumat daripada orang dalam.
Namun, terdapat beberapa isu yang boleh diteliti. Antaranya, adakah perlindungan ini benar-benar mencukupi dan meyakinkan kepada pemberi maklumat?
Apakah langkah-langkah untuk melindungi mereka sebab pemberi maklumat kadang- kadang merasa diri mereka tidak selamat dengan maklumat-maklumat yang telah mereka salurkan.
Seorang pemberi maklumat yang melaporkan hal berkaitan kesalahan majikannya mungkin berdepan dengan tindakan-tindakan yang tidak profesional seperti ugutan, diskriminasi di tempat kerja, tindakan tatatertib dan sebagainya. Namun, timbul juga persoalan jika pemberi maklumat ini memberi maklumat yang kabur dan tidak jelas.
Keadaan menjadi lebih teruk jika pemberi maklumat ini memberi maklumat yang palsu, yang boleh menjejaskan integriti ataupun menjejaskan entiti kerajaan ataupun syarikat- syarikat perniagaan. Jadi, apakah mekanisme dan undang-undang untuk menangani isu ini?
Dato’ Yang di-Pertua, saya juga ingin menyentuh mengenai penalti kewangan di fasal 22. Hukuman mesti memberi kesan kepada syarikat yang melanggar undang- undang namun hukuman tidak boleh menjadi instrumen untuk mengutip hasil. Yang lebih penting, ia perlu mengubah tingkah laku pasaran supaya pengguna mendapat harga yang lebih kompetitif.
Jadi persoalannya, apakah jaminan bahawa pindaan ini akan menurunkan kos sara hidup rakyat? Rakyat terus dibebani dengan segala macam cabaran yang kadang- kadang tidak masuk akal contohnya petani-petani yang mengusahakan tanaman padi sehinggakan semua benih kena beli, padi pun kena jual kepada pihak-pihak tertentu hingga tidak boleh berdikari sesama petani. Ini menyebabkan petani terus hidup miskin.
Jadi kesimpulannya, saya menyokong. Saya menyokong pindaan oleh— pindaan akta ini atas prinsip akauntabiliti, semak imbang, memberi perlindungan kepada PMKS serta penguatkuasaan akta ini dijalankan secara telus serta mencapai objektifnya. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Terima kasih Yang Berhormat Kangar. Berikut dipersilakan Yang Berhormat Kepong.
Tuan Lim Lip Eng - Kepong
Terima kasih Dato’ Yang di-Pertua. Saya setuju kerajaan mesti bertindak tegas terhadap kartel monopoli dan syarikat besar yang menekan pengguna serta peniaga kecil tetapi RUU ini masih ada kelemahan. Ia memberi MCC lebih banyak kuasa tetapi perlindungan terhadap salah guna kuasa dan ketulusan proses masih tidak cukup.
Pertama, di mana kawalan terhadap penggabungan syarikat besar? Jika dua syarikat besar bergabung atau syarikat besar memberi persaingannya, pesaingnya, pasaran boleh dikuasai oleh beberapa syarikat sahaja. Akhirnya harga naik, pengguna kurang pilihan dan peniaga kecil semakin susah untuk bersaing. Singapura sudah ada sistem untuk menilai merger yang boleh mengurangkan persaingan tetapi RUU ini tidak memasukkan kawalan merger. Kita tidak boleh tunggu monopoli terbentuk baru mahu bertindak. Bila itu berlaku, sudah terlambat.
Kedua, terdapat masalah dalam fasal penalti. RUU ini menukar nombor subseksyen 40 tetapi peruntukan penalti masih merujuk kepada seksyen 40(1)(c).
Selepas pindaan, kuasa mengenakan penalti sebenarnya berada di bawah seksyen 40(2)(c) bukan 40(1)(c). Ini bukan kesilapan kecil, penalti boleh sampai 10 peratus daripada jumlah jualan seluruh dunia, sesebuah syarikat sepanjang tempoh kesalahan berlaku. Kalau rujukan undang-undang pun salah, syarikat besar boleh mencabarnya di mahkamah. Kerajaan mesti membetulkan perkara ini sebelum RUU diluluskan.
Tuan Lim Lip Eng - Kepong
Ketiga, diskaun penalti sehingga 40 peratus terlalu besar. Seksyen baharu 38A membolehkan MyCC menawarkan penyelesaian kepada syarikat yang sedang disiasat.
Jika syarikat itu mengaku bertanggungjawab, penalti boleh dikurangkan sehingga 40 peratus. Pengurangan ini juga boleh ditambah dengan pengurangan lain di bawah sistem leniency. Ini terlalu murah hati. Syarikat boleh buat salah, tunggu disiasat, kemudian mengaku dan dapat potongan besar. Undang-undang tidak boleh memberi gambaran bahawa kesalahan boleh diselesaikan dengan harga murah.
Di Kesatuan Eropah, penyelesaian bagi kes kartel biasanya memberi pengurangan 10 peratus. Saya cadangkan diskaun di Malaysia dihadkan kepada maksimum 20 peratus dengan alasan bertulis daripada MyCC.
Seksyen 43 pula membolehkan MyCC menerima aku janji daripada syarikat, termasuk pembayaran denda yang ditentukan oleh MyCC, tetapi tiada had maksimum yang jelas. Untuk penalti biasa, ada had 10 peratus. Untuk denda melalui aku janji, hadnya tidak jelas. Kuasa besar mesti ada had yang jelas.
Keempat, proses pendengaran menjadi terlalu tertutup. RUU ini memotong seksyen 38 yang sebelum ini membenarkan MyCC memilih sama ada pendengaran dibuat secara terbuka atau tertutup. Sekarang, representasi lisan akan dibuat dalam sesi tertutup.
Memang rahsia perdagangan perlu dilindungi tetapi bukan semua perkara dalam kes persaingan ialah rahsia perdagangan. Kes kartel harga melibatkan makanan, ubat, pengangkutan, telekomunikasi dan kos hidup rakyat, rakyat berhak tahu asas keputusan MyCC. Sesi tertutup patut dibuat hanya bagi maklumat yang benar-benar sulit.
Selebihnya, alasan keputusan perlu dibuka kepada umum.
Kelima, kuasa MyCC meminta maklumat terlalu luas. Seksyen baharu 11A membolehkan MyCC meminta maklumat dan dokumen daripada mana-mana orang bagi kajian pasaran. Kegagalan mematuhi arahan itu boleh menjadi kesalahan. Kajian pasaran memang penting tetapi kajian pasaran bukan semestinya siasatan kesalahan.
RUU ini mesti jelaskan bahawa permintaan MyCC perlu benar-benar berkaitan, tidak terlalu luas, diberi dalam tempoh munasabah dan boleh dicabar jika tidak adil. Kuasa meminta maklumat tidak boleh menjadi lesen untuk meminta apa sahaja daripada sesiapa sahaja.
Akhir sekali, sektor penting masih dikecualikan. Jadual Pertama mengecualikan aktiviti tertentu dalam komunikasi, tenaga, petroleum huluan, penerbangan, gas dan pos. Sektor ini melibatkan bil telefon, elektrik, gas, tiket penerbangan dan penghantaran.
Ia biasanya dikuasai oleh syarikat besar. Jangan sampai sebab sektor itu ada pengawal selia sendiri, MyCC terus tidak boleh bertindak. Malaysia perlu ada sistem kerjasama yang jelas antara MyCC dan pengawal selia sektor.
Dato’ Yang di-Pertua, RUU ini ada tujuan yang baik tetapi belum cukup kemas.
Kerajaan perlu memasukkan kawalan merger, membetulkan kesilapan penalti, mengehadkan diskaun penyelesaian, menetapkan had denda, memastikan proses lebih terbuka dan mengawal kuasa MyCC mendapatkan maklumat. Kalau tidak, RUU ini hanya memberi lebih kuasa kepada MyCC tetapi tidak cukup perlindungan kepada rakyat, pengguna dan peniaga kecil.
Sekian, terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Terima kasih, Yang Berhormat Kepong. Dipersilakan Yang Berhormat Bagan Serai.
Datuk Haji Idris bin Haji Ahmad - Bagan Serai
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Terima kasih kepada Dato’ Speaker.
Rang Undang-undang Persaingan (Pindaan) 2026 ini ia bersifat satu perkara yang amat diperlukan kerana ia untuk memperkasakan kuasa MyCC bagi mengekang amalan monopoli dan juga kartel-kartel yang ada di negara kita. Kita tahu amalan ini, terutamanya daripada kartel-kartel, yang menjadi lintah darat ataupun menghisap darah yang tanpa perikemanusiaan terhadap mereka yang memerlukan di negara ini.
Pertamanya ialah saya nak bahaskan berkenaan dengan seksyen 4, iaitu MyCC sendiri mengakui, iaitu dalam persoalan bersubahat, mengakui pindaan seksyen 4 ini dibuat ialah kerana dalam kes Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) dalam satu Tribunal Rayuan Persaingan di mana mereka telah pun terlepas kes ini kerana entiti PIAM ini bukan disebut sebagai berorientasikan keuntungan. Maka, rang undang- undang ini kita bahas untuk menutup kelompangan yang ada di dalam perkara yang melibatkan hal ini.
Jika definisi bersubahat ini tidak diberikan penjelasan dengan detil, kita bimbang golongan yang mudah terjerat ini ialah dari kalangan peniaga-peniaga biasa ataupun dari kalangan PKMS. Mereka ini yang hadir di dalam satu mesyuarat persatuan perniagaan di kawasan perniagaan mereka, mereka datang mesyuarat tersebut sekadar untuk datang mesyuarat mungkin menjadi ahli yang pasif, tidak aktif. Tiba-tiba mereka itu telah pun disabitkan kerana membincangkan perkara-perkara yang membabitkan hal sewa gerai ataupun kos bahan mentah. Adakah mereka ini tergolong dari kalangan mereka yang boleh disabitkan dalam seksyen ini?
Ia nya mungkin berbeza dengan syarikat besar kerana syarikat besar mereka mempunyai LA, penasihat undang-undang syarikat mereka dan mereka juga mempunyai unit pemantauan yang boleh menasihat benda ini boleh buat atau tak boleh buat, mereka boleh hadir atau tidak hadir. Tapi memandangkan dengan peniaga kecil ataupun orang-orang biasa sahaja, maka sudah tentu mereka tidak mampu untuk melakukan sedemikian rupa.
Persoalan saya ialah― bolehkah Menteri memberikan jaminan bahawa selepas pindaan ini, seorang ahli persatuan itu tidak akan dipertanggungjawabkan semata-mata menjadi ahli melainkan MyCC telah pun confirm beliau adalah merupakan ahli yang aktif dan juga melakukan perkara yang menyalahi dalam hal ini?
Yang kedua, seksyen 11A― kuasa mendapat maklumat bagi kajian semula pasaran. Di bawah seksyen ini, MyCC memang sudah mempunyai kuasa menjalankan kajian semula berkenaan pasaran sesuatu industri. Kajian begini telah pun dijalankan sejak daripada tahun 2013. Cumanya, MyCC tidak mempunyai kuasa yang jelas untuk memaksa mana-mana pihak, termasuk agensi kerajaan, untuk memberikan maklumat semasa kajian-kajian ini dijalankan.
Dengan harapan pindaan seksyen 11A ini umpama memberikan gigi taring kepada MyCC supaya mereka ini dapat diambil tindakan walaupun yang melibatkan entiti kerajaan terutamanya melibatkan GLC-GLC yang kita duk tengok saring selalu, GLC ini hanya tempat untuk parking orang-orang politik, bukannya untuk membuat perniagaan bagi mengkayakan kerajaan ataupun untuk menambah pendapatan negara ataupun negeri sendiri.
Persoalannya― satu lagi persoalannya, apakah mekanisme semakan bebas ataupun pelaporan yang akan dilaporkan di Parlimen? Contohnya, untuk mengenal pasti bagaimana kuasa seksyen 11A ini digunakan terhadap agensi kerajaan. Biar Parlimen tahu agensi mana, GLC mana yang terlibat supaya kami di Parlimen juga dapat tahu.
Kerana seksyen ini digunakan terutamanya kepada agensi kerajaan.
Yang ketiga, seksyen 38A― tawaran penyelesaian kes sehinggakan potongan penalti sebanyak 40 peratus. Ini sudah tentulah memberikan ruang kepada mereka yang terlibat dengan kartel yang boleh mendapat potongan diskaun 40 peratus. Sudah tentu ada alasan-alasan yang tersendiri bagi pihak kerajaan kenapa memberikan 40 peratus diskaun ini.
Cuma, persoalan saya, adakah kadar potongan sepertimana pengalaman yang berlaku di United Kingdom, yang berlaku di Australia, yang berlaku di Singapura boleh dijadikan sebagai satu perkara yang menjadikan satu contoh yang boleh kita dapat ambil untuk negara kita?
Datuk Haji Idris bin Haji Ahmad - Bagan Serai
Dan apakah asas empirikal kerajaan menetapkan kadar maksimum 40 peratus?
Adakah ia nya terdapat kajian impak yang telah pun kita membuat kajian perbandingan antarabangsa dengan negeri-negeri ataupun negara-negara yang telah pun mengenakan kadar demikian? Persoalannya pula, mengapa pengguna pula yang menanggung harga yang berat akibat daripada lintah darat? Golongan-golongan kartel ini tidak mendapat apa-apa, sedangkan mereka pula memperolehi penalti diskaun sebanyak 60 peratus.
Yang keduanya, adakah potongan 40 peratus ini akan diberikan secara automatik ataupun tertakluk kepada syarat-syarat yang ketat daripada kerajaan, daripada kementerian, kalau mereka memberikan pengakuan penuh ataupun kerjasama yang baik? Cadangan saya untuk penambahbaikan ini, potongan ini biarlah kita buat secara berperingkat-peringkat. Tidaklah boleh terus diberikan dengan 40 peratus.
Banyak nampak itu.
Yang keduanya, potongan maksimum ini diberikan kepada syarikat yang memberi kerjasama.
Yang ketiga, sebahagian daripada penalti ini, biarlah disalurkan kepada tabung untuk pemulihan pasaran dan juga program pelindungan pengguna.
Yang keempatnya ialah isu kenapa tidak memperkenalkan rejim kawalan penggabungan merger iaitu kawalan penggabungan merger kontrol. Ramai pakar persaingan yang terkejut apabila rang udang-undang 2026 ini masih tidak memperkenalkan rejim kawalan penggabungan ataupun dengan izin, merger control.
Walaupun perkara ini telah lama dibincangkan, inilah sebenarnya yang paling kritikal, yang banyak kita dok bincang bab monopoli. Kadang-kadang monopoli ini bukan saja lahir daripada kartel, tetapi lahir daripada pengambilalihan ataupun penggabungan syarikat-syarikat ini.
Bayangkan, contohnya terdapat empat syarikat yang bergabung dalam industri untuk pasaran beras. Mereka yang menguasai syarikat besar ini, 90 peratus dalam pasaran beras. Dua syarikat terbesar ini bergabung sehinggakan mereka menguasai pasaran 60 peratus. Sekarang mereka boleh buat. Mungkin kerana tidak mempunyai kita katakan rejim untuk nak mengawal mereka. Akibatnya apa dia? Harga boleh dinaikkan kerana persaingan semakin berkurangan.
Yang kedua, akibatnya apa dia? Pengguna mempunyai pilihan yang kecil kerana dikontrol oleh syarikat-syarikat yang besar ini tadi.
Yang ketiganya, apa dia? Syarikat kecil sukar memasuki pasaran.
Yang keempatnya, inovasi dan kualiti perkhidmatan boleh merosot kerana mereka yang kontrol pasaran. Mahu tak mahu, rakyat atau pembeli mesti diambil.
Terima kasih kepada Dato' Yang di-Pertua. Terima kasih kepada Menteri kerana sudi mendengar.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Terima kasih Yang Berhormat Bagan Serai. Dipersilakan Yang Berhormat Rasah.
Tuan Cha Kee Chin - Rasah
Terima kasih kepada Dato' Yang di-Pertua atas peluang yang diberikan kepada saya untuk turut serta dalam perbahasan yang melibatkan Akta Persaingan (Pindaan) 2026 iaitu untuk meminda akta induk, Akta 712 pada hari ini.
Pertama, saya nak ucapkan syabas dan tahniah kepada Kerajaan Malaysia MADANI terutamanya Yang Berhormat Menteri KPDN yang telah membentangkan pindaan ini. Ini kali pertama Akta 712 sejak tahun 2010 dipinda dan memang tepat pada masanya. Ada keperluan untuk berbuat demikian, kerana persaingan di dalam dunia ekonomi, dunia komersial ketika ini dalam memastikan konsep kepenggunaan dan juga kepentingan pengguna sentiasa diambil perhatian dan sambil kita bersama-sama melawan kartel.
“Kartel Hancur, Rakyat Makmur”. Ini slogan yang saya rasa perlu ada pada semangat dan jiwa setiap seorang dari kita. Dan pada hari ini juga, saya bangun untuk membahaskan RUU ini bersama dengan kapasiti saya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Perdagangan Dalam Negeri, Keusahawanan, Kos Sara Hidup dan Pertanian untuk Parlimen Malaysia kali ini yang mana kami telah mengadakan tiga sesi libat urus bersama dengan pihak Suruhanjaya Persaingan (MyCC) yang masing- masing bertarikh 9 Jun, 25 Jun, yang terakhir pada 29 Jun yang lepas.
Dan hasil daripada tiga sesi libat urus tersebut di mana jawatankuasa telah berjaya menerbitkan Penyata 13 Tahun 2026 yang mana penyata ini ada di atas meja semua Yang Berhormat yang mana mengandungi perkara-perkara yang kami sokong, perkara-perkara yang kami bangkitkan untuk perhatian tambahan lanjutan daripada pihak KPDN dan juga tujuh cadangan syor daripada pihak jawatankuasa. Kami secara amnya, secara rentas parti, semua ahli jawatankuasa, dalam 12 orang ahli jawatankuasa menyokong pindaan ini dan kami juga ingin mencadangkan beberapa cadangan yang mustahak, yang saya sebutkan secara ringkas di sini.
Pertamanya, jawatankuasa pilihan mengesyorkan supaya KPDN mendapatkan pengesahan lanjut daripada AGC berhubung kesesuaian peruntukan yang melibatkan pemakaian terhadap persatuan perusahaan bagi mengelakkan sebarang pertikaian perundangan yang mungkin berlaku kelak berkaitan dengan isu ultra vires semasa penguatkuasaan kelak.
Yang keduanya, jawatankuasa mengesyorkan supaya KPDN dan MyCC menyediakan garis panduan yang jelas bagi membezakan penyelarasan aktiviti industri yang dibenarkan dengan perlakuan kartel yang terlarang supaya kebebasan perusahaan dan berpersatuan tidak terjejas dan tidak menimbulkan kekeliruan dalam kalangan pemain industri.
Kenapa kami menyatakan dua syor ini? Kerana dalam konsep tambah baik yang dicadangkan untuk pindaan ini, seksyen 3 telah ditambah perkataan ‘ekonomi’. Kalau sebelum itu hanya kepada komersial, ekonomi yang mana menunjukkan, merangkumi skop yang lebih luas dan seksyen 4 yang sebelum ini lebih menunjukkan — lebih merujuk kepada kartel menegak dan mendatar, sekarang ini kepada apa-apa perjanjian.
Jadi skopnya lebih luas.
Kami mengalu-alukan. Kami tiada masalah. Kami menyokong cadangan ini.
Cuma kami bimbang, sekiranya ada pihak-pihak tertentu yang mungkin terkesan dengan penguatkuasaannya satu hari nanti, dia mungkin mencabar. Jadi, saya minta supaya ada penjelasan daripada kerajaan, satu pengesahan.
Dan seterusnya cadangan ketiga daripada kami adalah berkaitan dengan agar KPDN dan MyCC memastikan pelaksanaan akta ini terus melindungi PMKS daripada penyalahgunaan kedudukan dominan oleh mana-mana syarikat besar dalam strategi mereka menentukan harga pemangsa, di samping tidak menjejaskan daya saing perusahaan yang menjalankan aktiviti perniagaan secara sah.
Yang keempat, jawatankuasa pilihan mengesyorkan supaya KPDN dan MyCC mempergiatkan program advokasi kepada persatuan perusahaan, dewan-dewan perniagaan dan pemain industri bagi meningkatkan kefahaman mereka terhadap usaha kita membanteras, memerangi kartel.
Kelima, jawatankuasa pilihan mengesyorkan supaya KPDN dan MyCC menyediakan garis panduan yang lebih komprehensif dan teliti ataupun menyeluruh berhubung pelaksanaan pindaan ini kelak.
Keenam, jawatankuasa pilihan mengesyorkan supaya MyCC meneruskan kajian semula pasaran secara berkala, khususnya dalam sektor ekonomi digital dan sektor yang berisiko tinggi terhadap perlakuan antipersaingan, serta mengambil tindakan susulan yang sewajarnya.
Dan cadangan yang ketujuh daripada kami adalah supaya KPDN memperkukuhkan penyelarasan dengan kementerian dan pengawal selia sektor-sektor seperti MITI, Bank Negara Malaysia, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia
(CAAM), Suruhanjaya Tenaga dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia bagi mengelakkan pertindihan bidang kuasa serta memastikan penguatkuasaan undang-undang persaingan yang lebih adil dan berkesan untuk semua pemain industri.
Dato' Yang di-Pertua, pada petang ini juga, saya ingin mengetengahkan beberapa perkara yang berkaitan terutamanya dengan lima seksyen baharu yang dicadangkan oleh kerajaan dalam pindaan RUU kali ini. Seksyen 11A, kuasa untuk menghendaki pemberian maklumat dan sebagainya berhubung dengan kajian pasaran.
Kami menyokong. Saya menyokong dan saya anggap ia sebagai satu langkah yang berani, yang drastik untuk memperkukuh ataupun memperkasakan peranan MyCC, terutamanya dengan sesiapa yang tidak memberikan kerjasama, dianggap sebagai kesalahan jenayah. Kami menyokong perkara ini.
Sebab kalau tidak, orang tak takut. Kalau tak takut, dia tak bagi kerjasama. Jadi fungsi MyCC itu akan jadi macam kurang berkesan. Cuma saya nak tanya, disebabkan tiada label ataupun ya lah konsep kesalahan jenayah terhadap entiti kerajaan.
Tuan Cha Kee Chin - Rasah
Jadi, macam mana — bagaimana MyCC hendak mewajibkan ataupun memastikan agensi-agensi kerajaan — tak kira Kerajaan Pusat ataupun kerajaan negeri, turut memberikan kerjasama terhadap hal ini? Sebab kita tak mahu fungsi MyCC itu terjejas.
Perkara kedua, berkenaan dengan seksyen baharu, seksyen 38A, tawaran penyelesaian. Kita tahu tawaran penyelesaian ini dari segi undang-undang adalah satu cara yang kata orang lebih mudah, lebih pantas untuk penyelesaian. Saya setuju sebab subseksyen 2 menyatakan dengan jelas bahawa pihak yang terbabit kena mengakui liabiliti, kalau dia tidak mengaku, jangan kita lepaskan. Dia mengaku liabiliti, maknanya dia mengakui ada kesalahan anti persaingan. Selepas itu, baru kita memberikan pengurangan.
Dikatakan bahawa pengurangan penalti sehingga 40 peratus, itu maksimum.
Jadi, saya hendak tanya kepada kerajaan, kenapa 40? Adakah kerana 40 percent ini adalah peratusan yang diguna pakai di negara-negara yang kita rujuk seperti UK, seperti Singapore ataupun apa kajian — ada apa kajian yang telah dilaksanakan kenapa letak 40 ini? Sebab saya rasa rakan-rakan — saya dengar tadi ramai rakan-rakan pun tanya perkara ini. Mungkin Yang Berhormat Menteri gulung nanti boleh memberikan penjelasan.
Dato’ Yang di-Pertua, saya mohon sedikit masa tambahan. Fasal baharu yang ketiga, seksyen 58A, Rayuan Kepada Mahkamah Tinggi, ini saya setuju. Sebab kalau sebelum ini, pihak lain yang terkilan dengan keputusan daripada Tribunal Rayuan Persaingan boleh ke Mahkamah Tinggi tapi MyCC tak boleh. Ini menunjukkan ketidakadilan untuk MyCC. Kita memperbaiki kekurangan ini dengan pindaan ini, bagus.
Cuma saya hendak tanya, sejak dikuatkuasakan Akta 712 pada tahun 2011 sehingga kini, sehingga sebelum kita buat pindaan ini, berapa kes yang MyCC sepatutnya buat rayuan yang terkilan dan sepatutnya buat rayuan ke Mahkamah Tinggi tapi disebabkan seksyen asal, MyCC tak dapat hendak buat rayuan ke Mahkamah Tinggi? Mohon ada fakta statistik daripada Yang Berhormat Menteri.
Selepas itu, seksyen 64A, Perlindungan Kepada Pemberi Maklumat. Kita setuju ia adalah sesuatu yang baik untuk membolehkan lebih ramai pemberi maklumat tampil ke hadapan. Cuma saya nampak di bawah seksyen 64A, sub (3), seolah-olah ada pengecualian terhadap perlindungan ini. Jadi, dalam keadaan yang macam mana pengecualian itu terpakai? Sebab kalau pengecualian hanya terpakai dalam skop yang sangat spesifik, saya rasa okey. Sebab setiap undang-undang ada proviso dia. Tetapi sekiranya pengecualian tersebut terpakai dalam keadaan yang sangat meluas, ia boleh menjejaskan tujuan ataupun niat untuk pindaan ini.
Dan seksyen terakhir yang saya nak sebutkan, seksyen baharu juga, seksyen 64B iaitu Ganjaran Kepada Pemberi Maklumat Sebagai Galakan. Saya — kalau ikut bacaan saya, digunakan perkataan “boleh”, “may” maknanya, budi bicara pada MyCC untuk menentukan jumlah. Saya hendak tanya pada pandangan Menteri, bagaimana perkara ini, mekanismenya dilaksanakan? Sebab kita tak mahu keadaan di mana pemberi makluman ini nanti dia— sebabkan ada ganjaran, dia buat kerja, nanti ramai sangat yang berlumba-lumba hendak tampil ke hadapan. Pada hal kes yang dibawa itu, akhirnya tak boleh disabitkan dan menyebabkan MyCC akan menghadapi masalah kekurangan manpower untuk menguruskan aduan awam.
Kita mengalu-alukan tapi kita pun tak nak yang tak ada poin, yang tak ada kaitan itu datang ke MyCC. Nanti kalau MyCC tak layan, dikatakan tak layan, menyusahkan MyCC. Jadi, mohon penjelasan daripada Yang Berhormat Menteri. Jadi secara keseluruhannya, saya menyokong RUU ini dan saya berharap ia dapat membawa kepada usaha kita melawan kartel ke satu tahap yang lebih baik, lebih berkesan sebab Jawatankuasa Pilihan memang bersetuju supaya pindaan ini dilaksanakan.
Dengan kata-kata tersebut, saya menyokong cadangan ini— RUU ini. Terima kasih Dato’ Yang di-Pertua.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato' Dr. Ramli bin Dato' Mohd Nor
Terima kasih Yang Berhormat. Dipersilakan Yang Berhormat Besut.
Datuk Che Mohamad Zulkifly bin Jusoh - Besut
Terima kasih Yang di-Pertua.
Pada asasnya, saya mengiktiraf bahawa pindaan ini mempunyai matlamat yang baik iaitu memperkukuh ekosistem persaingan yang adil dan juga melindungi pengguna, menggalakkan inovasi dan memastikan ekonomi negara tidak dikuasai oleh segelintir pemain yang menyalahgunakan kedudukan dominan.
Jadi, dalam ekonomi moden sekarang, amalan seperti pakatan harga, pembahagian pasaran, manipulasi tender, penyalahgunaan kuasa pasaran boleh menyebabkan harga barangan akan meningkat. Jadi, pilihan pengguna juga menjadi terhad. Tak boleh beli ikut suka. Jadi, perusahaan kecil serta sederhana juga iaitu PKS yang penting, sukar berkembang. Oleh itu, penguatkuasaan undang-undang persaingan ini memerlukan— perlu sentiasa diperkasakan.
Saya juga berharap pindaan ini memberi penekanan kepada ekonomi digital yang penting. Banyak platform digital hari ini mempunyai pengaruh pasaran yang sangat besar melalui data algoritma yang Menteri sebut tadi. Algoritma dan juga rangkaian pengguna.
Jadi persoalannya, adakah pindaan ini benar-benar menyediakan instrumen yang mencukupi untuk menangani cabaran persaingan ini? Sebab ia berbentuk digital— dalam ekonomi digital sekarang. Selain itu, kejayaan sesuatu undang-undang ini bukan hanya bergantung pada kandungan undang-undang itu sendiri. Ia nya— tetapi juga kemampuan institusi yang melaksanakan, kemampuan.
Persoalannya, adakah Suruhanjaya Persaingan Malaysia ini mempunyai pegawai yang mencukupi? Itu penting. Sama ada, ada kepakaran dalam forensik digital sebab berkenaan dengan digital dan ada tak teknologi analitik dan juga peruntukan kewangan yang memadai? Ini penting. Jadi, untuk— semua ini adalah untuk melaksanakan tanggungjawab yang lebih besar.
Dalam perkara seksyen 18, saya ingin merujuk kepada peristiwa beberapa hari yang lalu. Semasa saya membahas Rang Undang-undang Pengangkutan Jalan, saya ada mempersoalkan kewujudan perkhidmatan insurans pihak ketiga bernama Nile Tech Sdn. Bhd. dalam aplikasi JPJ. Malangnya, tidak semena-mena Menteri pada masa itu bersikap defensive dan mendakwa saya mem-provoke beliau.
Jadi, sedangkan isu yang saya bangkitkan berakar kepada rungutan rakyat yang mempersoalkan keselamatan data peribadi mereka dalam aplikasi kerajaan dan apakah keistimewaan syarikat tersebut bertapak dalam aplikasi kerajaan?
Jadi, adakah terdapat unsur monopoli ataupun unfair advantage? Siapakah yang mungkin beroleh laba daripadanya? Adakah ia telah melalui proses yang telus? Ini semua persoalan yang mustahak untuk dijawab bagi menjamin prinsip persaingan sihat yang menjadi nadi akta ini. Oleh yang demikian, jika MOT tidak dapat menjawab soalan saya, mungkin KPDNKK boleh? Minta tolong jawab. Sebagai last resort rakyat untuk mendapatkan penjelasan.
Sesuai dengan pindaan seksyen 18 ini juga, saya mendesak agar kuasa ini dimanfaatkan kepada MyCC untuk menyiasat kewujudan — kemungkinan wujudnya amalan monopoli dalam aplikasi kerajaan seperti kes Nile Tech itu sendiri. Isu ini sudah banyak sebenarnya berlegar dalam media sosial dan mestilah ditangani. Tambahan pula, seksyen 18 ini sendiri memperuntukkan kuasa suruhanjaya untuk menyiasat berdasarkan alasan yang munasabah tanpa perlu menunggu aduan rasmi ataupun arahan Menteri. Dia berbangkit daripada isu ini juga.
Datuk Che Mohamad Zulkifly bin Jusoh - Besut
Persoalan saya, apakah peluang dibuka kepada semua pemain industri sebenarnya? Nak memasukkan Nile Tech dalam JPJ. Mengapa akses dalam aplikasi MyJPJ ini tidak dibuka kepada semua ejen, broker ataupun syarikat insurans yang berlesen? Apakah impak kepada industri, kalau perkara ini berlaku?
Jadi, adakah kementerian juga telah menjalankan kajian impak terhadap puluhan ribu ejen insurans dan juga PKS yang bergantung pada pembaharuan polisi kenderaan?
Kalau kita lihat kepada aplikasi JPJ, kita tekan, di bawah sekali ada perkataan insurans— untuk baharui insurans akan keluar Nile Tech. Nile Tech ni sebuah ejen la.
Jadi, saya nak katakan bahawa sebenarnya platform kerajaan ini, hendaklah neutral dan tidak memberi kelebihan kepada mana-mana entiti komersial. Jadi, persaingan yang sihat akan memberi manfaat kepada rakyat melalui lebih banyak pilihan harga yang kompetitif dan juga perkhidmatan yang lebih baik.
Dan akhirnya, pindaan akta ini hendaklah menjadi instrumen untuk mewujudkan persaingan yang sihat, bukan menambah birokrasi atau menjejaskan keyakinan pelabur.
Jadi, persaingan yang adil akan memberikan manfaat kepada pengguna, meningkatkan produktiviti ekonomi dan juga memperkukuh daya saing Malaysia di peringkat antarabangsa.
Dengan penambahbaikan yang sewajarnya terhadap aspek tadbir urus, akauntabiliti dan juga perlindungan hak pihak yang disiasat, saya percaya objektif rang undang-undang ini dapat dicapai dengan lebih berkesan. Dan saya menyokong. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato' Dr. Ramli bin Dato' Mohd Nor
Terima kasih Yang Berhormat Besut. Silakan Yang Berhormat Kubang Pasu.
Dato’ Wira Dr. Ku Abd Rahman bin Ku Ismail - Kubang Pasu
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih Dato’ Yang di-Pertua kerana memberi peluang kepada saya untuk turut sama berbahas mengenai pindaan Akta Persaingan 2010 [Akta 712] pada hari ini. Terima kasih juga kepada Yang Berhormat Menteri, yang hadir sendiri untuk mendengar perbahasan dari awal hingga akhir sebab setengah-setengahnya dihantar Timbalan Menteri.
Antara perkara utama terkandung dalam akta asal iaitu Akta Persaingan 2010 [Akta 712] ialah tujuan utama melindungi kepentingan pengguna dan menggalakkan ekonomi yang sihat. Ia mencegah syarikat daripada menipu atau monopoli pasaran.
Kemudiannya perjanjian antipersaingan. Syarikat dilarang daripada membuat perjanjian yang boleh menyekat kebebasan bersaing contohnya, syarikat pesaing bergabung untuk menetapkan harga barang.
Penyalahgunaan kuasa dominan. Syarikat besar dilarang menyalahgunakan kedudukan mereka untuk menindas pesaing yang lebih kecil. MyCC ataupun Malaysia Competition Commission sebagai badan yang bertanggungjawab memantau dan mengambil tindakan terhadap syarikat melanggar undang-undang ini.
Pindaan Rang Undang-undang Akta Persaingan 2010 [Akta 712] yang dibahaskan hari ini bermatlamat untuk mengukuhkan pelbagai aspek Akta 712 termasuk peruntukan yang berhubungan dengan kuasa penyiasatan dan penguatkuasaan Suruhanjaya Persaingan Malaysia. Tatacara membuat keputusan oleh suruhanjaya dan peruntukan yang mentadbir Tribunal Rayuan Persaingan. Pindaan ini juga dibuat supaya Akta Persaingan kekal relevan dengan perkembangan semasa.
Pindaan-pindaan yang terlibat adalah komprehensif yang melibatkan 34 fasal.
Dari fasal dua sehingga fasal seksyen 66. Contoh pindaan yang dibuat, yang bagi saya memang bagus dan perlu disokong. Fasal 3 umpamanya bertujuan untuk menggantikan seksyen 3 Akta 712 untuk meluaskan ruang lingkup pemakaian Akta 712 kepada apa- apa aktiviti komersial. Perluasan seksyen ini adalah perlu bagi meliputi rangkuman aktiviti yang lebih luas yang boleh memberikan impak kepada persaingan dalam pasaran Malaysia.
Fasal 6 bertujuan meminda seksyen 10 Akta 712 untuk memasukkan subseksyen baharu iaitu 10(5) dan akta dengan — dalam akta dengan memperuntukkan bahawa mana-mana perusahaan yang terlibat dalam sesuatu perlakuan yang menyalahgunakan kedudukan dominan, hendaklah bertanggungan bagi pelanggaran di bawah Akta 712 ini. Peruntukan ini adalah selaras dengan subseksyen 4(3) akta sedia ada yang secara nyata memperuntukkan mengenai pelanggaran larangan. Di bawah fasal ini, pindaan juga dibuat kepada sub perenggan 10(2)(d)(iii) akta bagi memastikan kejelasan dan keseragaman antara teks bahasa kebangsaan dengan teks bahasa Inggeris Akta 712.
Fasal 10 bertujuan untuk meminda seksyen 20 Akta 712 bagi menjelaskan bahawa kuasa untuk mengakses rekod, buku akaun atau benda-benda lain bagi maksud melaksanakan mana-mana fungsi dan kuasa suruhanjaya di bawah Akta 712 hendaklah dijalankan oleh seorang pegawai daripada suruhanjaya.
Kebanyakan negara di dunia telah mempunyai dasar persaingan atau perdagangan adil. Bagi negara Malaysia dari segi sejarahnya, Akta Persaingan ini telah diluluskan oleh Mesyuarat Kabinet pada Oktober 2005 kemudian diluluskan oleh Parlimen pada 6 Mei 2010. Saya pun tak tahu kenapa mengambil lima tahun— masa lima tahun dan berkuat kuasa Januari 2012.
Pentingnya Akta Persaingan kepada negara. Tanpa persaingan, firma menjadi kurang cekap, kos pengeluaran meningkat kerana pekerja tidak produktif. Manakala, kes monopoli pula menjadikan negara mengalami kerugian kerana ketidakcekapan serta monopoli terpaksa menggunakan lebih sumber untuk menghasilkan kuantiti produk yang lebih kecil.
Persaingan sebenarnya merupakan cara perniagaan belajar untuk menjadi lebih baik dan sentiasa berinovasi. Dari segi prinsipnya, persaingan akan membawa kepada pengagihan sumber dengan lebih cekap, kos yang lebih rendah, manakala firma pula akan terus berinovasi.
Antara amalan yang boleh disifatkan sebagai antipersaingan ialah aktiviti monopoli di mana kuasa ekonomi dan perniagaan terletak dalam tangan beberapa orang yang menggunakan kuasa untuk memanipulasi harga bekalan.
Penyalahgunaan kedudukan dominan dalam mana-mana pasaran bagi barangan atau perkhidmatan termasuk mengenakan harga belian atau jualan yang tidak adil ke atas pembelian, mengehadkan atau mengawal pengeluaran sehingga memudaratkan pengguna. Enggan membekalkan kepada sesuatu perusahaan atau kumpulan atau mengenakan syarat yang berlainan bagi transaksi yang setara kepada pihak lain juga dianggap sebagai antipersaingan.
Perjanjian antipersaingan adalah perjanjian yang matlamatnya untuk menghalang, menyekat dan mengganggu persaingan bagi barang atau perkhidmatan.
Umpamanya, melibatkan syarikat perabot yang bersaing bersetuju untuk menetapkan harga ke atas produk mereka. Ini satu contoh kartel. Contoh lain ialah dua buah syarikat penjual tayar kereta umpamanya, yang bersaing, bersetuju untuk menetapkan kawasan operasi mereka. Misalnya syarikat A bersetuju untuk tidak beroperasi di Johor, manakala pesaingnya pula syarikat B pula bersetuju untuk beroperasi di Pulau Pinang.
Perjanjian mendatar akan melibatkan unsur-unsur antipersaingan seperti penetapan harga, pembahagian pasaran atau mengehadkan pengeluaran atau pengedaran. Ia termasuk mengadakan peraturan eksklusif bagi menghalang pesaing lain memasuki pasaran.
Pada Ogos 2011— mungkin ada yang ingat cerita ini. AirAsia dan Malaysia Airlines melaksanakan aktiviti share swapping ataupun pertukaran saham melibatkan RM1.1 bilion di mana AirAsia mengambil 20.5 saham Malaysia Airlines, dan Khazanah mengambil 10 peratus saham daripada AirAsia. Kes ini telah disiasat oleh MyCC, akhirnya pertukaran saham berkenaan telah dibatalkan ataupun call off. Ini menunjukkan betapa pentingnya Akta Persaingan ini.
Kesimpulannya Dato’ Yang di-Pertua, kejayaan pindaan akta ini, amat bergantung kepada peranan dan keberkesanan MyCC dalam melaksanakan penguatkuasaan dengan telus dan without fear or favor.
Dato’ Wira Dr. Ku Abd Rahman bin Ku Ismail - Kubang Pasu
Kubang Pasu menyokong pindaan akta ini, akta 2026. Sekian, assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato' Dr Ramli bin Dato' Mohd Nor
Waalaikumussalam. Selanjut dipersilakan Yang Berhormat Ampang.
Puan Hajah Rodziah binti Ismail - Ampang
*Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh* dan salam sejahtera. Terima kasih Dato’ Yang di-Pertua.
Ampang berdiri pada hari ini juga untuk menyokong kesemua 44 pindaan secara keseluruhan dalam Rang Undang-undang Akta Persaingan (Pindaan) 2026 dan Rang Undang-undang Suruhanjaya Persaingan Malaysia juga sekali gus demi memperuntukkan kerangka undang-undang persaingan negara.
Saya yakin peruntukan atau pun sebagai penutupnya ini mungkin boleh menutup banyak kelompangan-kelompangan undang-undang yang telah pun dikenal pasti melalui pengalaman penguatkuasaan dan juga banyak keputusan-keputusan mahkamah sebelum ini.
Oleh itu saya ingin mengatakan di sini rakyat tidak akan menilai kalau berjayanya Akta 712 dan 713 ini berdasarkan beberapa banyak seksyen yang kita pinda atau berapa banyak kuasa baru yang diserahkan kepada MyCC selaku badan separa kehakiman. Sesungguhnya kayu ukur sebenar ujian adalah melalui keberanian dan kecekapan penguatkuasaan tanpa gentar, pilih kasih ataupun kompromi.
Hakikatnya sudah lama rakyat menantikan kesungguhan, kesediaan dan keupayaan kerajaan memerangi kolusi, kartel, oligopoli, monopoli dan pelbagai bentuk penyalahgunaan kedudukan dominan pasaran lain kerana semua ini boleh menyumbang kepada hendak ke tak hendak ada kesan kepada kos kehidupan atau pun kos sara hidup rakyat. Begitu juga ia nya juga menyumbang kepada sekiranya barangan dan perkhidmatan kekal membebankan rakyat, kolusi dan yang kartel ini gagal dihapuskan, maka akan terus lah isu ini tidak ada penghujungnya.
Oleh itu saya yakin dengan adanya semua pindaan ini saya harap pembaharuan yang bukan sahaja yang kita tulis di atas kertas ini tetapi insya-Allah akan membuat satu reformasi besar kepada persaingan yang kita tengok ini.
Justeru itu Dato’ Yang di-Pertua, Ampang ingin lontarkan tiga cabaran. Bila saya membaca kesemuanya khusus untuk pemerhatian dan tindakan kerajaan. Pertama cabarannya bagaimana kerajaan ingin mengatasi persepsi yang mengatakan bahawa MyCC ini nanti benar-benar bebas, berkecuali dan mempunyai keberanian untuk menyiasat dan menguatkuasakan undang-undang terhadap semua pihak. Dia durian ke, dia mentimun ke semua disiasat dengan secara yang adilnya. Maknanya udang-undang boleh dipinda berkali-kali tetapi apakah kita mahu supaya perkara yang kita laksanakan ini nanti tidak dipengaruhi bawah tekanan politik, industri ataupun pelobi-pelobi kepentingan.
Jadi, saya yakin dengan ini kita memerlukan penguatkuasaan yang lebih benar- benar bebas, berkecuali dan teguh dengan godaan. Ini satu perkara yang saya harap ia akan datang bersekali dengan kelulusan pindaan ini nanti, insya-Allah. Dan saya juga cabaran keduanya, Menteri ada di sini iaitu undang-undang tidak berkembang selari dengan kepesatan ekonomi digital di samping perlindungan jaminan buat pemberi maklumat tidak memuaskan, makna itu cabaran kita kedua. Macam mana pun yang kita buat, tetapi kalau undang-undang ini tidak dikembangkan selari dengan kepesatan ekonomi digital, maka ia nya tidak dapat dilaksanakan.
Sebagaimana yang saya nak terangkat dekat sini, kuasa ekonomi bukan lagi sekadar mempunyai ratusan kilang atau pun syarikat-syarikat rantaian bekalan makanan dan sebaginya. Kuasa ekonomi hari ini datang daripada data, agonisme, platform digital dan kecerdasan buatan. Persoalannya adakah semua pindaan hari ini benar-benar cukup untuk menghadapi bentuk oligopoli, monopoli, kolusi dan kartel baru yang jauh lebih rencam dan kompleks. Dulu mungkin kita tengok monopoli itu kita nampak, oligopoli itu kita nampak tetapi sekarang dengan menggunakan teknologi baru ini agak orang kata cabaran lah besar kepada pihak kerajaan.
Jadi, saya ingin mengatakan di sini hak dan perlindungan pemberi maklumat itu cukup penting. Kadang-kadang kita tidak dapat mengesan tetapi pemberi maklumat itu cukup penting untuk kita bukan sekadar dalam akta ini tetapi mesti benar-benar dirasai dan dinikmati oleh mereka yang berani tampil membongkar kan perkara-perkara ini.
Dan saya harap juga tidak ada lagi sekiranya pemberi maklumat ini masih takut kehilangan pekerjaan dan bisnes atau berdepan dengan risiko tindak balas, jadi Ampang khuatir budaya berdiam diri akan terus mengatasi budaya integriti. Jadi itu juga cabarannya.
Yang ketiganya Dato’ Yang di-Pertua, kurang jaminan manfaat buat pengguna.
Kita harap lihat dalam keadaan kita membentangkan undang-undang ini kita mahu supaya tidak ada kurangnya jaminan manfaat buat pengguna. Jadi, kepelbagaian pilihan, harga kompetitif serta kualiti produk atau perkhidmatan. Jadi, rakyat kebanyakannya tidak akan membaca seksyen demi seksyen macam kita di dalam Dewan ini tetapi apa yang rakyat mahu lihat kesan daripada pindaan ini nanti ada sedikit kos atau pun kaedah untuk boleh ada jalan keluar untuk penurunan kos sara hidup serta peningkatan variasi produk dan perkhidmatan dalam pasaran yang terjamin kualiti.
Dengan itu saya rasa sesungguhnya dasar persaingan bukan semata-mata tentang melindungi pasaran, malah bertujuan melindungi pengguna daripada harga yang dimanipulasikan, melindungi peniaga yang jujur dan amanah daripada muslihat, tipu daya dan helah, pelaku antipersaingan serta melindungi Malaysia daripada terus terperangkap dalam middle income trap. Jadi dengan itu dengan cabaran yang tiga ini saya ingin kemukakan dua dasar, mungkin boleh dipertimbangkan yang mungkin saya nampak di sini tidak nampak di cover atau tidak diambil perhatian dalam perkara ini.
Pertamanya dasar supaya adanya pelan tindakan, mekanisme dan garis masa untuk mewujudkan satu kerangka undang-undang persaingan nasional yang benar- benar berpusat dan bersepadu. Tadi kita tengok rakan-rakan kita bercerita tentang banyak, banyak kita tengok akta-akta yang mereka sendiri ada peruntukan-peruntukan persaingan.
Dato’ Yang di-Pertua, contohnya kita ada bawah Akta Komunikasi dan Multimedia [Akta 588]. Dia ada Akta Suruhanjaya Tenaga pun ada, Akta Pihak Berkuasa Penerbangan Awam pun ada, jadi dekat sini saya persoalkan siapakah sebenarnya nanti pengawal selia dan pemantau pengawasan utama persaingan? MyCC atau pihak berkuasa spesifik untuk industri-industri ini. Jadi apakah pertindihan bidang kuasa sebegini berpotensi mewujudkan ketidakselarasan dalam tafsiran undang-undang, kelewatan malah kelemahan penguatkuasaan dan ketidaktentuan dalam kalangan pelabur. Jadi kena lihat perkara ini sebab kita tengok luar negara telah mula pun memperkemaskan perkara ini.
Seterusnya Ampang ingin tahu apakah pelan tindakan garis masa dan pindaan undang-undang akan diselaraskan demi merealisasikan hasrat atau pun komitmen RMK13 yang disebut dalam buku yang kita baca pada awal penggal atau pun awal tahun ini.
Yang keduanya atas dasar kedua iaitu keseriusan Malaysia memerangi kolusi dan kartel. Dato’ Yang di-Pertua saya nak bawakan di sini setakat Akta 712 dan 713 menumpukan fokus kepada pelanggaran undang-undang atau salah laku perusahaan atau perniagaan berdaftar. Namun, amalan antipersaingan tidak semestinya berlaku dengan sesebuah syarikat sahaja kerana hakikatnya ia bermula daripada beberapa individu duduk semeja membuat pakatan sulit dan sebagainya.
Di kebanyakan negara luar kita tengok kesalahan ini bukan lagi sekadar kesalahan sivil tetapi dikategorikan sebagai kesalah jenayah. Ini kerana dengan memusnahkan persaingan bebas, saksama dan sihat ini ia dilihat sebagai merompak dan merampas hak orang lain. Jadi dekat sini persoalannya, apakah konspirator atau pun pengkomplot yang merencana dan merancang jenayah kolusi dan kartel ini masih lepas bebas sedangkan jutaan pengguna menanggung bebanan?
Jadi, Ampang mohon kepastian daripada kerajaan apakah sedang dikaji ataupun telah menjalankan kajian untuk memperkenalkan peruntukan yang menjenayahkan perlakuan? Sebab sekarang ini bawah sivil, yang saya faham lah. Dan yang keduanya bersediakah memperkenalkan liabiliti jenayah terhadap individu yang mengetuai dan mendalangi kolusi dan kartel bukan hanya mengenakan penalti kepada syarikat semata- mata.
Dan kesudahannya saya ingin membawa di sini penutup, Ampang akhiri perbahasan ini dengan satu pesanan. Kita harap pindaan ini sekadar kemenangan legislatif sahaja jangan macam itu. Kita harap juga perkara ini adalah kemenangan. Kita harap nanti bila kita dah lulus ini adalah kemenangan untuk semua pengguna, peniaga yang jujur dan amanah tanpa mengira saiz dan pengaruh ekonomi Malaysia secara keseluruhan.
Sekiranya ini dicapai, saya yakin, Ampang yakin 44 pindaan ini akan dikenang sebagai antara reformasi ekonomi yang paling penting dalam dekad ini dengan harapan Kerajaan MADANI akan mempercepatkan dan memperhebatkan lagi agenda reformasi- reformasi yang lain.
Dengan ini Ampang mohon menyokong. Sekian terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato' Dr Ramli bin Dato' Mohd Nor
Terima kasih Yang Berhormat. Sekarang dipersilakan Yang Berhormat Pokok Sena.
Dato’ Haji Ahmad bin Saad @ Yahaya - Pokok Sena
Assalamualaikum dan salam sejahtera. Terima kasih Dato’ Sri Yang di-Pertua. Terima kasih Yang Berhormat Menteri.
Dato’ Haji Ahmad bin Saad @ Yahaya - Pokok Sena
Ada beberapa perkara yang ingin saya sentuh dalam perbahasan ini. Yang pertama, fasal 7 yang meletakkan seksyen baharu 11A. Serta fasal 9 melibatkan pindaan seksyen 18 dalam kertas RUU ini iaitu berkaitan kuasa yang diberikan kepada pihak Suruhanjaya Persaingan Malaysia.
[Timbalan Yang di-Pertua (Puan Alice Lau Kiong Yieng) **mempengerusikan Mesyuarat****] Fasal 7 menyebutkan berkenaan kuasa untuk menghendaki pemberian maklumat berhubung dengan kajian semula pasaran. Seksyen 11A(1) menyebutkan bahawa jika suruhanjaya mempunyai sebab-sebab untuk mempercayai bahawa mana- mana orang mempunyai apa-apa maklumat, butir-butir dan dokumen yang berkaitan dengan perjalanan kajian semula pasaran, maka suruhanjaya boleh mengarahkan orang itu untuk memberikan atau mengemukakan kepada suruhanjaya dalam bentuk dan mengikut cara tertentu.
Seksyen 11A(2) pula memperjelaskan, jika pihak berkenaan tidak mempunyai maklumat berkenaan orang itu hendaklah menyatakan butir dokumen yang boleh diperoleh atau dijumpai sepanjang pengetahuan dan kepercayaan orang terakhir yang mempunyai jagaan terhadap maklumat.
Sekali lagi perkara ini ditekankan dalam penggantian seksyen 18 pada fasal 9 iaitu berkaitan kuasa untuk menghendaki pemberian maklumat. Kalau kita baca peruntukan yang dinyatakan ini, pihak suruhanjaya mempunyai kuasa untuk mengarahkan mana-mana individu mahupun syarikat mengemukakan dokumen jika dipercayai melanggar peruntukan undang-undang di bawah Akta Persaingan ini.
Satu sudut kita menyokong sebagai usaha yang jitu untuk membanteras kartel- kartel. Banyak sebutan kartel petang ni, Bagan Serai sebut lintah darat, yang telah lama bermaharajalela. Namun, satu sudut lain yang ingin dibangkitkan. Bagaimana kita mahu memastikan supaya kuasa ini tidak disalah guna sehingga membabitkan pihak yang tidak berkaitan dengan kajian pasaran yang dinyatakan?
Puan Yang di-Pertua, tambahan lagi. Dalam kedua-dua fasal yang sama juga menyentuh mengenai kuasa untuk masuk kepada mana-mana entiti kerajaan.
Khususnya melalui seksyen 11A(6) ini. Soalan saya, bagaimana pula kalau ia melibatkan soal kepentingan dan keselamatan negara? Apakah suruhanjaya mempunyai sekatan tertentu supaya subseksyen (6) ini juga tidak menjadi ruang untuk dimanipulasi? Apakah kementerian telah bersedia dengan satu mekanisme semak dan imbang dalam hal ini?
Satu sisi lain pula, bagaimana pula kementerian mahu memastikan dengan kuasa yang ada ini akan membuka ruang lebih besar kepada pihak suruhanjaya melawan kartel-kartel yang bersalahan dalam seksyen 4, di bawah seksyen 4 mahupun monopoli di bawah seksyen 10 dalam akta ini?
Puan Yang di-Pertua, perkara kedua adalah berkenaan kuasa penutupan penyiasatan dalam fasal 8 iaitu penggantian terhadap seksyen 16 Akta Persaingan.
Subseksyen (4) menyebutkan bahawa pihak suruhanjaya boleh memutuskan untuk menutup siasatan jika perusahaan itu memberikan aku janji di bawah seksyen 43 serta ia bukan penggunaan terbaik sumber suruhanjaya.
Maka soalan saya, bagaimana pihak suruhanjaya secara objektif dan prinsip akan menentukan hal ini bahawa perjanjian yang dinyatakan tidak melanggar peruntukan di bawah akta? Bagaimana kementerian akan memastikan ia tidak membawa kepada persepsi layanan istimewa kerajaan kepada pihak-pihak tertentu? Ini juga harus diambil kira supaya sebarang ruang penyalahgunaan kuasa ini dapat ditutup.
Puan Yang di-Pertua, saya ingin beralih kepada isu terakhir, isu yang ketiga mengenai mekanisme penyelesaian. Ia dinyatakan dalam fasal 20 yang meletakkan seksyen baharu 38A. Dalam subseksyen (3)(b) di sini dinyatakan mengenai pengurangan 40 peratus daripada penalti sebagai suatu tawaran penyelesaian yang dikenakan oleh pihak suruhanjaya.
Soalannya, adakah ia satu jalan keluar yang mudah untuk sesuatu syarikat mahupun francais jika mereka tidak mahu memanjangkan tempoh litigasi yang dikenakan ataupun satu sudut yang lain lebih ramai pula, lebih banyak pula syarikat yang menjadi mangsa tersepit di antara tempoh turun naik mahkamah yang memakan tempoh tahun atau kesalahan yang mereka tidak terlibat dan sebaliknya membayar denda sebagai langkah selamat?
Dan persoalannya juga adalah bagaimana penyelesaian ini sebenarnya menyelesaikan permasalahan isu kartel dan antipersaingan yang ada? Jadi, saya mohon pandangan kementerian. Sekian, terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Terima kasih Yang Berhormat Pokok Sena. Saya jemput Yang Berhormat Sik.
Tuan Ahmad Tarmizi bin Sulaiman - Sik
Assalamualaikum warahmatullah dan salam sejahtera. Terima kasih Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua, terima kasih Yang Berhormat Menteri. Saya juga bersama petang ini untuk membahaskan Rang Undang-undang Persaingan (Pindaan) 2026 yang pada asasnya bertujuan untuk mengukuhkan kerangka penguatkuasaan persaingan negara melalui peluasan kuasa MyCC, Suruhanjaya Persaingan Malaysia yang sudah pastilah penambahbaikan tatacara siasatan serta pengenalan mekanisme perindustrian itu sangat penting untuk dilaksanakan di peringkat dasar dan di peringkat bawah di sana.
Walau bagaimanapun, ketika undang-undang ini dilihat sangat positif. Namun, beberapa peruntukan kita memerlukan penelitian secara kritikal termasuk dari sudut imbangan kuasa, ketelusan, keadilan prosedur dan impak kepada ekosistem perniagaan serta entiti kerajaan.
Kritikan saya yang pertama iaitu dalam soal peluasan takrif aktiviti ekonomi dan dilihat ada risiko campur tangan yang berlebihan. Tuan Yang di-Pertua, pindaan seksyen 3 memperluaskan skop akta daripada aktiviti komersial kepada apa-apa aktiviti ekonomi termasuk aktiviti di luar negara yang memberi kesan kepada pasaran Malaysia.
Walaupun ini selaras dengan trend global undang-undang persaingan, ia menimbulkan beberapa isu iaitu yang pertama, skopnya terlalu luas dan berpotensi meliputi aktiviti separa kerajaan dan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Yang kedua, boleh mewujudkan over-regulation, dengan izin, terhadap sektor yang tidak bersifat komersial secara langsung. Dan yang ketiga, risiko interpretasi subjektif oleh suruhanjaya sendiri. Tambahan pula, pengecualian aktiviti berdasarkan perpaduan tidak ditakrifkan dengan jelas dan ia membuka ruang tafsiran yang agak kabur. Jadi, persoalannya yang perlu mungkin dilihat oleh pihak kementerian, adakah kita sedang memperkukuhkan undang-undang persaingan atau membuka ruang kepada ketidaktentuan undang-undang itu sendiri?
Yang kedua, soal kuasa suruhanjaya yang ada risiko overenforcement, dengan izin. Pindaan ini memperkukuhkan kuasa MyCC dalam beberapa perkara termasuklah mengarahkan maklumat daripada individu dan syarikat, yang kedua mengakses dokumen, data dan keterangan serta mengeluarkan notis wajib terhadap— termasuk kepada entiti kerajaan.
Jadi, saya melihat walaupun penguatkuasaan itu sangat penting, kuasa ini hampir tidak mempunyai, yang pertama semakan kehakiman awal ya. Yang kedua, had masa yang jelas dan permintaan data itu sendiri dan yang ketiga, perlindungan terhadap penyalahgunaan kuasa pentadbiran.
Dan kita juga risau entiti kerajaan juga tertakluk kepada arahan wajib MyCC yang boleh menimbulkan konflik antara agensi kerajaan itu sendiri. Yang ketiga, soal perlindungan kerahsiaan dan pemberi maklumat yang juga adalah langkah progresif tetapi agak berisiko. Pindaan seksyen 21 dan 64A memperkukuhkan. Yang pertama, kewajipan kerahsiaan. Yang kedua, perlindungan identiti pemberi maklumat dan yang ketiga, penalti terhadap kebocoran maklumat.
Namun, beberapa persoalan yang dilihat ialah bagaimana mekanisme semakan jika maklumat disalah guna tidak diperincikan? Yang kedua, kebimbangan antara perlindungan whistleblower dan hak pembelaan pihak disiasat dan juga isu risiko anonymous allegation, dengan izin, tanpa bukti kukuh.
Dan begitu juga dalam ganjaran kepada pemberi maklumat juga boleh mendorong laporan bermotifkan kepentingan peribadi atau persaingan yang tidak sihat.
Yang keempat, Tuan Yang di-Pertua, soal mekanisme penyelesaian ataupun settlement, risiko bagaimana yang disebut dengan izin, plea bargain economy.
Dan pengenalan seksyen 38A yang membolehkan, yang pertama, penyelesaian awal. Yang kedua, pengakuan liabiliti dan pengurangan penalti sehingga 40 peratus.
Jadi, ini kelihatan agak efisien tapi ia juga berisiko iaitu syarikat besar boleh membeli jalan keluar dengan denda itu.
Tuan Ahmad Tarmizi bin Sulaiman - Sik
Yang kedua, prinsip keadilan substantif yang boleh terjejas dan juga syarikat kecil mungkin tidak mampu menawar syarat yang setara. Jadi soal keadilan, penguatkuasaan dan komersialisasi penalti ini perlu dilihat dengan lebih detil.
Yang kelima iaitu yang disoal, proses siasatan dan representasi perlu ada penambahbaikan tetapi masih ada ruang ketidak — maknanya berat sebelah di situ.
Dalam pindaan ini memperkenalkan termasuk sesi tertutup representasi lisan, yang kedua panel syarikat suruhanjaya dan ketiga, memberi representasi bertulis dan lisan.
Namun dilihat Suruhanjaya masih mempunyai kuasa menentukan struktur pendengaran. Dan yang kedua, tiada badan bebas luar dalam proses awalan dan ketiga, panel wakil masih dalam struktur organisasi yang sama. Jadi, ini juga boleh menimbulkan persoalan kehakiman yang semula jadi ataupun dengan izin, natural justice. Jadi, adakah hak didengar benar-benar seimbang atau sekadar formaliti dalam prosedur kita ini?
Yang keenam, soal penalti dan penguatkuasaan yang juga dilihat tegas ya.
Pindaan seksyen 40 menetapkan penalti sehingga 10 peratus, pusing ganti secara global dan yang kedua, caj lewat pembayaran serta kuasa Mahkamah Tinggi dalam penguatkuasaan keputusan. Walaupun ini selaras dengan standard antarabangsa, ia juga memberi kesan termasuklah risiko besar kepada PKS sendiri, industri kecil dan sederhana ini. Yang kedua, potensi dengan izin, market exit bagi syarikat-syarikat kecil dan ketiga, keperluan garis panduan penalti yang lebih progresif dan profesional.
Dan yang ketujuh terakhir itu, dalam kritikan sayalah, soal pengecualian sektor yang strategik yang perlu disemak termasuklah dalam Jadual Pertama, pengecualian dalam sektor komunikasi, tenaga, petroleum, huluan, penerbangan, gas dan pos. Jadi Tuan Yang di-Pertua, ini juga menimbulkan isu yang lama, isu klasik iaitu mengapa sektor paling dominan dan berpotensi monopoli dikecualikan daripada Undang-undang Persaingan dan ini juga boleh melemahkan prinsip persaingan sihat dan juga mewujudkan protected monopolies dengan izin dan juga mengurangkan keberkesanan reformasi pasaran.
Jadi Tuan Yang di-Pertua, sebagai akhirnya sebagai kesimpulannya, saya ingin juga mencadangkan beberapa cadangan penambahbaikan yang penting untuk dilihat oleh kementerian:
(i) soal definisi aktiviti ekonomi perlu diperjelas dengan lebih khusus dan praktikal;
(ii) penubuhan mekanisme semakan bebas untuk kuasa penyiasatan MyCC;
(iii) garis panduan jelas bagi settlement dengan izin, agar tidak berat sebelah;
(iv) semakan semula pengecualian sektor strategik; dan
(v) pengukuhan hak rayuan termasuk aspek fakta dalam kes tertentu yang telah pun disebut tadi.
Tuan Yang di-Pertua, kita tidak menolak reformasi persaingan tetapi kita mesti memastikan bahawa kuasa penguatkuasaan tidak mengatasi prinsip keadilan dan keseimbangan dalam pasaran kita dan yang paling penting ialah hak rakyat itu perlu dilindungi sepenuhnya. Tuan Yang di-Pertua, sekian terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Terima kasih Yang Berhormat Sik. Saya jemput Yang Berhormat Parit Buntar.
Tuan Haji Mohd Misbahul Munir bin Masduki - Parit Buntar
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera.
Bismillahirrahmanirrahim. Terima kasih Puan Yang di-Pertua. Saya bacakan petikan ayat al-Quran untuk panduan kita bersama.
[Membaca sepotong ayat al-Quran] Maksudnya, “Dan bagi tiap-tiap umat ada arah (kiblat) yang masing-masing menujunya, oleh itu berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan kerana di mana sahaja kamu berada di muka bumi Allah tetap akan membawa kamu semua berhimpun pada hari kiamat untuk menerima balasan. Sesungguhnya Allah maha kuasa atas setiap-tiap sesuatu.” Al-Baqarah, ayat 148.
Tuan Yang di-Pertua, saya bangun mengambil bahagian bagi membahaskan Rang Undang-undang Persaingan (Pindaan) 2026. Menurut kefahaman ayat ini, persaingan mestilah sihat dan beretika, bermatlamat untuk melakukan kebaikan [Berucap dalam bahasa Arab] berlumba-lumba untuk mengerjakan kebaikan. Konsep ini melarang penindasan, penipuan atau monopoli.
Sebaliknya ia menggalakkan keadilan, ketelusan dan integriti dalam semua aspek kehidupan termasuk berkerjaya, perniagaan dan pembangunan diri. Prinsip utama persaingan beretika adalah berpandukan Surah al-Baqarah, ayat 148 ini. Umat Islam digalakkan untuk bersaing dari segi pencapaian positif, amal kebaikan dan sumbangan kepada masyarakat berbanding menjatuhkan orang lain untuk mendapat kepentingan diri sendiri.
Pada asasnya saya menyokong usaha kerajaan untuk memperkukuh Undang- undang Persaingan agar pasaran negara menjadi lebih telus, kompetitif dan adil.
Pindaan ini memperkenalkan beberapa penambahbaikan penting seperti memperluaskan skop penguatkuasaan, memperkemaskan proses penyiasatan, memperkenalkan perlindungan pemberi maklumat serta mempercepat proses rayuan.
Semua ini bertujuan memastikan amalan kartel, monopoli dan penyalahgunaan kuasa pasaran dapat dibendung dengan lebih berkesan. Namun begitu, saya ingin mengemukakan beberapa perkara untuk perhatian pihak kerajaan.
Pertama, penguatkuasaan undang-undang ini mestilah benar-benar memberi manfaat kepada rakyat, bukan sekadar menambah kuasa kepada Suruhanjaya. Tuan Yang di-Pertua, hari ini rakyat masih berdepan kenaikan harga barang, kos sara hidup yang tinggi dan pilihan pengguna yang semakin terhad dalam beberapa sektor.
Persoalannya, sejauh manakah MyCC berjaya mengekang amalan kartel atau pakatan harga yang memberikan kesan langsung kepada pengguna? Saya berharap selepas pindaan ini diluluskan, kerajaan menetapkan petunjuk prestasi utama yakni KPI yang jelas kepada MyCC supaya lebih banyak siasatan terhadap sektor-sektor strategik seperti makanan, pembinaan, logistik, pharmaceutical, telekomunikasi dan ekonomi digital dapat dilaksanakan.
Yang kedua, saya menyambut baik cadangan memperluaskan skop akta kepada semua aktiviti ekonomi termasuk persatuan perusahaan bagi menutup kelompangan undang-undang yang dikenal pasti sebelum ini. Namun, kerajaan perlu memastikan pelaksanaan ini tidak membebankan persatuan-persatuan kecil, koperasi atau perusahaan mikro yang tidak mempunyai niat untuk menjejaskan persaingan. Garis panduan yang jelas perlu dikeluarkan supaya hanya perlakuan yang benar-benar antipersaingan dikenakan tindakan.
Yang ketiga, saya menyokong perlindungan serta ganjaran kepada pemberi maklumat kerana ia mampu membantu membongkar kegiatan kartel yang selama ini sukar dikesan. Walau bagaimanapun, mekanisme perlindungan identiti pemberi maklumat hendaklah benar-benar kukuh, jangan sampai mereka menjadi mangsa tindakan balas majikan atau pihak berkepentingan sehingga menimbulkan ketakutan untuk tampil memberi maklumat.
Yang keempat, pindaan yang memperkenalkan tawaran penyelesaian kes boleh mempercepat penyelesaiaan sesebuah kes dan mengurangkan beban penguatkuasaan. Namun kerajaan perlu memastikan mekanisme ini tidak dilihat sebagai ruang untuk syarikat besar, memberi jalan keluar melalui pengurangan penalti tanpa memberi pengajaran yang sewajarnya. Ketelusan dalam menentukan jumlah pengurangan penalti amat penting bagi mengekalkan keyakinan awam.
Dan yang kelima, saya ingin menegaskan bahawa persaingan yang sihat menurut perspektif Islam bukan sekadar bebas bersaing tetapi mestilah berasaskan keadilan, amanah dan mengelakkan kezaliman. Islam melarang monopoli yang menindas, menyorokkan barang, manipulasi harga dan penipuan dalam urusan perdagangan. Sabda Rasulullah SAW [Berucap dalam bahasa Arab] tidak melakukan ihtikar yakni sorok barang, melainkan orang yang berdosa.
Islam tidak mengharamkan struktur pasaran monopoli secara mutlak, walau bagaimanapun Islam mengharamkan amalan monopoli yang bersifat menindas dan mengeksploitasi pengguna khususnya yang melibatkan penimbunan barang yakni ihtikar dalam bahasa Arab, untuk menaikkan harga ketika berlaku kekurangan bekalan.
Justeru, penguatkuasaan akta ini perlu benar-benar menghalang amalan yang menzalimi pengguna serta memastikan kekayaan ekonomi tidak hanya berlegar dalam kalangan golongan tertentu sahaja.
Tuan Yang di-Pertua, akhir sekali saya berharap selepas pindaan ini diluluskan, kerajaan akan memperkukuhkan kapasiti MyCC daripada sudut tenaga pakar, teknologi digital, analisis data serta kerjasama dengan agensi penguat kuasa lain supaya penguatkuasaan menjadi lebih pantas dan berkesan. Undang-undang yang baik tanpa penguatkuasaan yang terjejas tidak akan mencapai matlamatnya. Dengan harapan agar pindaan ini benar-benar dapat mewujudkan pasaran yang lebih adil, melindungi pengguna serta meningkatkan daya pesaing ekonomi negara. Saya akhiri perbahasan ini dengan menyimpulkan dalam bentuk beberapa persoalan.
Pertama, kerajaan menyatakan pindaan ini memperkukuh kuasa MyCC. Berapa banyak kes kartel yang berjaya disabitkan sejak akta ini berkuat kuasa pada 2010 dan apakah bukti bahawa kuasa sedia ada benar-benar tidak mencukupi?
Yang kedua, apakah sasaran prestasi KPI selepas pindaan ini? Adakah kerajaan menetapkan sasaran mengurangkan amalan kartel dalam tempoh tiga hingga lima tahun?
Yang seterusnya, adakah kerajaan bersedia membentangkan laporan tahunan kepada Parlimen mengenai prestasi MyCC termasuk jumlah aduan yang diterima, kes yang disiasat, tempoh penyiasatan, penalti dikenakan serta impaknya terhadap penurunan harga dan peningkatan persaingan?
Tuan Haji Mohd Misbahul Munir bin Masduki - Parit Buntar
Jika tidak, bagaimana Parlimen boleh menilai sama ada pindaan ini benar-benar berjaya. Akhirnya keempat, kerajaan sering mengaitkan kartel dengan kenaikan harga barang. Bolehkah kerajaan membentangkan data yang menunjukkan berapa banyak kenaikan harga barang— harga barang asas berpunca daripada kartel, berbanding faktor lain seperti kos import, cukai atau kadar pertukaran wang. Dengan ini, saya menyokong dan saya akhiri dengan serangkap pantun.
Solat asar solat zuhur; Sampai waktu wajib dikerjakan; 11 Julai hari mengundi di negeri Johor; Undilah PN untuk menjadi pengimbang kepada kerajaan dan asal bukan Pakatan Harapan. Sekian, terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Terima kasih Yang Berhormat Parit Buntar, saya jemput Yang Berhormat Tumpat.
Dato’ Mumtaz binti Md Nawi - Tumpat
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua kerana membenarkan saya untuk membahaskan Rang Undang-undang Pindaan Akta Persaingan 2010. Pindaan ini merupakan langkah yang baik untuk— tadbir negara, namun saya ingin membangkitkan beberapa perkara yang memerlukan perhatian kerajaan.
Pertama, penyelarasan antara kerajaan negeri dengan Kerajaan Persekutuan.
Kita lihat dalam pindaan seksyen 2 masukkan takrif entiti kerajaan yang merangkumi Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan dan badan berkanun.
Persoalannya ialah sejauh manakah pindaan ini diterjemahkan dalam peringkat negeri.
Walaupun kita tahu bahawa ini merupakan di bawah bidang kuasa negeri, contohnya berkaitan dengan tanah tetapi perniagaan yang kita usahakan ini akan melibatkan negeri juga seperti pelesenan, permit dan juga tanah sumber air, perlombongan, hutan dan juga premis makanan.
Jadi dalam hal ini, saya ingin mengingatkan kepada pihak kerajaan supaya mewujudkan satu majlis tindakan persaingan dan pengguna negeri bagi melaraskan tindakan di antara MyCC kerajaan negeri, PBT dan juga KDN dan sejauh manakah latihan diberikan kepada peringkat khususnya PBT untuk memahami tentang impak bagi persaingan ini. Itu yang pertama.
Yang kedua, Malaysia tekah mempunyai dasar persaingan negara tetapi tidak menyeluruh. Kita lihat dalam dasar ini menyebut bahawa ia nya bertanggungjawab untuk memastikan tidak ada persaingan yang tidak sihat kepada negara. Walau bagaimanapun, tidak ada wakil dari negeri-negeri dalam suruhanjaya ini. Jadi, sebagai contohnya kita lihat dasar ini akan bergerak secara bertentangan dan juga berasingan walaupun sebenarnya bersangkutan untuk dasar persaingan negara.
Sebagai contohnya dasar tanah, dasar keselamatan makanan, dasar pengguna.
Jadi, kita lihat ini kalau tidak digabungkan bersekali kita akan melihat satu kerugian yang besar kepada negara dan kita lihat di negara-negara lain mereka telah membuat competition impact assessment iaitu memastikan setiap dasar dan peraturan dinilai terlebih dahulu untuk memastikan tidak wujud monopoli, sama ada di peringkat negeri ataupun negara.
Adakah Malaysia bercadang untuk memberikan kesan tersebut? Kita lihat sebagai contohnya tanah tadi merupakan satu elemen yang perlu dijaga kerana ini merupakan harta negara dan juga harta negeri. Jika tiada dasar yang jelas, ia boleh menyebabkan monopoli ataupun persaingan yang tidak sihat kepada penguasaan tanah pertanian oleh beberapa syarikat.
Penguasaan kuari dan perlombongan dan banking akan meningkat kemasukan [Tidak jelas] baru dan juga monopoli logistik dasar pelabuhan darat. Ini akan membahayakan sekiranya ia melibatkan elemen-elemen daripada pihak asing.
Walaupun ini tidak ada kaitan secara langsung dengan Akta Persaingan, tetapi ia mempunyai struktur dan sistem yang berkaitan dengan pasaran bagi anti-persaingan.
Saya ingin mencadangkan kepada kerajaan untuk mendapatkan ataupun menubuhkan pangkalan data nasional, pemilikan aset strategik dalam menilai persaingan. Yang kedua, sebarang pemberimilikan tanah berskala besar kepada mana- mana pihak hendaklah dinilai daripada sudut persaingan dan memastikan terdapatnya audit berkala terhadap sektor strategik seperti makanan, nutrisi dan logistik.
Seterusnya dari segi penguatkuasaan, hari ini kita lihat penguasaan untuk MyCC ini fungsi penguasaan berada di pihak agensi. MyCC untuk Akta Persaingan, KPDN jaga untuk pengguna, PBT keluarkan lesen, pejabat tanah uruskan pejabat tanah.
Agensi negeri uruskan [Tidak jelas] dan kemudahan awam. Namun kita perlu ingat bahawa kartel tidak beroperasi mengikut sempadan kementerian. Oleh itu saya mencadangkan supaya mekanisme operasi bersepadu penguatkuasaan mesti melibatkan secara serentak, MyCC, kerajaan negeri, PBT dan sebagainya supaya kita dapat melihat ini dapat diselesaikan kerana akhirnya yang akan terlibat dengan perkara ini adalah pengguna.
Seterusnya berkaitan dengan apakah persediaan negara ketika menghadapi krisis global. Krisis seperti pandemik, peperangan, gangguan [Tidak jelas] dan inflasi sering menjadikan pasaran menjadi lebih tertumpu kepada syarikat besar dan hari ini ketika akta ini dibentangkan, kita sudah mengalami krisis akibat peperangan di Selat Hormuz. Jadi, kita harus ingat di peringkat antarabangsa sepatutnya kita tidak membenarkan kartel ataupun mana-mana pihak menyalahgunakan kuasa pasaran dan kerjasama yang diperlukan.
Kalau perlu merger antara syarikat dengan syarikat dibuat sekiranya benar-benar perlu bagi menjamin bekalan pada pengawasan. Kita lihat juga di Eropah, mereka memastikan bahawa bekalan makanan dan ubat diteruskan tanpa menjejaskan persaingan dalam jangka panjang. Saya ingin bertanya kepada pihak Menteri, adakah kerajaan memperkenalkan protokol persaingan negara semasa krisis.
Adakah kita mempunyai satu protokol yang khas? Yang kedua, bagaimana kita memastikan bahawa bila perkara ini hendak dibuat, segala benda yang kita lakukan ini akan melalui competition impact assessment supaya dasar dan projek kerajaan untuk matlamat jangka panjang akan tercapai.
Saya juga ingin merujuk kepada seksyen 38A, pindaan baharu yang menyebut bahawa suruhanjaya boleh menawarkan tawaran penyelesaian. Kita ingin tahu apakah garis panduan dan juga SOP kepada amaun yang akan dikemukakan oleh pihak suruhanjaya untuk memberikan tawaran ini kerana kita lihat di bawah seksyen 3 itu menyebut bahawa ia boleh dikurangkan sehingga 40 peratus.
40 peratus ini yang disebut kepada perusahaan adalah bergantung kepada tawaran. Jadi, kita hendak tahu, apakah mekanisme yang digunakan untuk mengenakan amaun pengurangan tersebut supaya 40 peratus itu adakah ia nya akan melibatkan sebarang kerugian kepada pihak yang terkesan ataupun hanya melibatkan kepada tawaran yang dikemukakan oleh pihak suruhanjaya.
Jadi, kita ingin tahu juga lah bagaimanakah mekanisme dari segi pihak suruhanjaya yang akan mengeluarkan tawaran tersebut kerana tawaran ini merupakan tawaran yang kita kira konklusif, yang akan menjadi seolah-olah concern judgement kepada sebarang notis yang telah pun dikeluarkan oleh pihak suruhanjaya. Jadi, sekiranya ini dapat diberitahu kepada kita, kita mengharapkan supaya insya-Allah sebarang persaingan yang dikemukakan ataupun yang berlaku dalam negara akan berlaku secara sihat dan terjamin, terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Terima kasih Yang Berhormat Tumpat.
Datuk Larry Soon @ Larry Sng Wei Shien - Julau
YB Yang di-Pertua, boleh saya umumkan kehadiran ketua masyarakat dan ketua kaum daripada Parlimen P.209 Julau.
[Tepuk]
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Sekarang saya minta Yang Berhormat Menteri untuk menjawab. Masa 25 minit.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup - Datuk Armizan bin Mohd Ali
Bismillahirrahmanirrahim, assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera. Terima kasih Puan Yang di-Pertua. Pertamanya, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih atas penyertaan perbahasan Ahli-ahli Yang Berhormat untuk membahaskan Rang Undang-undang Persaingan Pindaan 2026. Dan daripada perbahasan yang telah dikemukakan oleh Ahli-ahli Yang Berhormat, rata-rata kita dapat melihat Ahli Yang Berhormat telah pun memberikan sokongan terhadap rang undang-undang yang telah pun dikemukakan dan ada sebahagiannya mengambil pendekatan untuk mencerakinkan kepentingan peruntukan-peruntukan yang telah digariskan.
Yang kedua, ada Ahli Yang Berhormat yang meminta penjelasan lanjut terhadap peruntukan-peruntukan, sama ada yang dipinda, ditambah baik mahupun peruntukan- peruntukan baru dan sebahagian Ahli-ahli Yang Berhormat juga telah menzahirkan dengan izin concern kebimbangan berkaitan dengan aspek pelaksanaan dan juga penguatkuasaan yang sebahagian besarnya insya-Allah dapat kita cerakinkan lagi melalui kuasa yang diberikan kepada Menteri untuk mengemukakan ataupun mengeluarkan peraturan-peraturan dan begitu juga di pihak suruhanjaya dari aspek garis-garis panduan yang boleh dikeluarkan kemudiannya.
Puan Yang di-Pertua, sebelum saya mengulas, menjawab dengan lebih lanjut berkenaan dengan perkara-perkara yang dibangkitkan, suka saya untuk menerangkan dan membuat penegasan bahawa skop kepada undang-undang persaingan, khususnya Akta Persaingan 2010 yang kita usulkan untuk dipinda pada hari ini, adalah terkait kepada pakatan ataupun kartel dalam tiga perkara.
Pertama, dari segi penetapan harga. Yang kedua, dari segi pembahagian pasaran, yang ketiga dalam konteks mengehadkan pengeluaran dan begitu juga tipuan kartel dan juga penyalahgunaan kepada kuasa dominan ataupun monopoli yang bermasalah.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup - Datuk Armizan bin Mohd Ali
Kerangka perundangan kita terkait dengan persaingan, itulah dia skop kepada undang-undang persaingan yang ada di negara kita dan banyak perkara dibangkitkan Puan Yang di-Pertua sebelum saya pergi kepada perkara-perkara spesifik yang disentuh oleh Ahli-ahli Yang Berhormat tertentu. Saya mulakan dengan peruntukan-peruntukan ataupun fasal-fasal, perkara-perkara yang banyak disentuh.
Contohnya berkaitan dengan maksud ataupun tafsiran kepada entiti kerajaan di bawah akta ini yang sebenarnya merangkumi Kerajaan Persekutuan, juga kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan serta mana-mana individu atau entiti yang bertindak atas perwakilan kuasa bagi pihak badan-badan tersebut. Dan manakala bagi badan lain pula merujuk kepada mana-mana entiti, organisasi, agensi luar atau institusi bukan kerajaan yang telah menerima penyerahan atau perwakilan kuasa daripada kerajaan untuk menjalankan fungsi-fungsi tertentu bagi pihak berkuasa awam. Tadi dibangkitkan juga oleh Yang Berhormat Tumpat tentang di peringkat negeri.
Dari segi skop ataupun definisi ini melibatkan negeri, namun kebimbangan yang dikemukakan, kita ambil perhatian untuk kita menggerakkan usaha kerjasama bagi memastikan undang-undang ini dapat bukan hanya dilaksanakan dengan efisien di peringkat persekutuan tetapi juga di peringkat negeri mengambil kira kepada pembahagian ataupun bidang kuasa masing-masing hinggalah ke peringkat pihak berkuasa tempatan.
Yang kedua disentuh juga berkaitan dengan GLC, sama ada boleh dianggap sebagai satu entiti kerajaan. Yes, sekiranya GLC tersebut bertindak di bawah perwakilan kuasa oleh kerajaan atau menjalankan fungsi bagi pihak Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri mahupun pihak berkuasa tempatan. maka ia boleh termasuk dalam takrifan entiti kerajaan tersebut. Misalnya Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan juga Perbadanan Nasional Berhad.
Perkara yang banyak disentuh juga yang juga ada Yang Berhormat yang menimbulkan kebimbangan tentang tafsiran perusahaan. Pindaan ini dibuat dengan memperluas skop perusahaan yang menjalankan, bukan hanya aktiviti komersial tetapi juga atau aktiviti ekonomi yang berhubungan dengan barangan atau perkhidmatan. Jadi, suruhanjaya mendapati bahawa takrifan perusahaan terlalu sempit iaitu hanya merangkumi entiti yang menjalankan aktiviti komersial yang kurang mencerminkan realiti pasaran.
Dengan itu pindaan ini juga dibuat bagi memastikan Akta 712 boleh digunakan untuk semua perusahaan yang terlibat dalam aktiviti komersial atau ekonomi dalam pasaran Malaysia. Selain itu, bagi perkataan ekonomi di peringkat antarabangsa, amalan terbaik seperti Singapura dan Eropah mengiktiraf bahawa entiti komersial yang berkaitan dengan kedua-dua aktiviti yang bersifat komersial dan juga ekonomi.
Dan pindaan ini dibuat Puan Yang di-Pertua, adalah juga terkait dengan pengalaman dalam penguatkuasaan di mana pernah diputuskan apabila hanya menyentuh tentang aktiviti komersial, maka agak sukar untuk MyCC melaksanakan penguatkuasaan kerana komersial maksudnya adalah apabila melibatkan transaksi jual beli secara langsung.
Maka kita mahu supaya bidang kuasa yang lebih luas supaya sebarang aktiviti ekonomi yang dilaksanakan oleh perusahaan itu juga membolehkan kita untuk membuat penyiasatan dan penelitian sebab ada pihak yang menganggap bahawa sebuah persatuan ini ia tidak menjalankan aktiviti komersial. Maka sekiranya sesuatu keputusan itu dibuat oleh perusahaan dan bukannya oleh persatuan yang mewakili perusahaan, bukannya perusahaan itu secara individu, maka ia tidak tertakluk kepada undang- undang persaingan.
Jadi, bila mana kita memperluaskan skopnya bukan hanya kepada aspek komersial tetapi aktiviti ekonomi, maka kita boleh untuk mengambil tindakan penyiasatan terhadap persatuan yang dianggotai oleh perusahaan-perusahaan tersebut bila mana mereka mengambil keputusan yang boleh menyentuh atau mempengaruhi keterbukaan pasaran.
Seterusnya dibangkitkan juga oleh banyak Ahli-ahli Yang Berhormat berkaitan dengan kuasa untuk mengehendaki pemberian maklumat berhubung dengan kajian semula pasaran. Ada Ahli-ahli Yang Berhormat yang mengalu-alukan, tidak kurangnya juga yang melahirkan kebimbangan sekiranya kuasa yang terlalu luas ini boleh disalahgunakan. Sebenarnya pindaan dilaksanakan secara khusus dalam perkara ini adalah bagi membolehkan MyCC melaksanakan kajian semula pasaran dengan lebih efektif. Ia berbeza dengan seksyen 18 sebenarnya.
Untuk seksyen 11A ini adalah dalam konteks untuk kajian semula pasaran untuk mendapatkan maklumat daripada pelbagai pihak termasuk entiti kerajaan. Pindaan ini turut memperjelas sabitan hukuman jenayah sekiranya mana-mana pihak kecuali kerajaan tidak mematuhi notis permohonan maklumat yang dipohon oleh MyCC. Sejak tahun 2013, MyCC telah melaksanakan sebanyak lapan kajian semula pasaran melalui seksyen 11. Walau bagaimanapun, proses tersebut sering berhadapan dengan kekangan operasi yang kritikal.
Antara cabaran utama yang dihadapi termasuklah kesukaran memperoleh data yang boleh dipercayai, credible information, keengganan pihak berkaitan untuk memberikan kerjasama, tindakan melengah-lengahkan penyerahan data serta risiko pemberian maklumat palsu atau mengelirukan secara sengaja.
Seksyen 11 sedia ada tidak memperuntukkan kuasa paksaan untuk mengumpul maklumat, manakala kuasa pengumuman maklumat di bawah seksyen 18— berbezanya antara seksyen 11 dan 18. Seksyen 18 pula terhad untuk tujuan siasatan perlanggaran atau kesalahan sahaja. Seksyen 11 untuk tujuan market review dan seksyen 18 adalah tujuan siasatan perlanggaran dan juga kesalahan.
Pindaan seksyen 11A ini adalah sangat kritikal kerana hasil laporan kajian semula pasaran MyCC sering dijadikan rujukan utama dalam memberikan nasihat dasar berhubung isu-isu persaingan di peringkat Kerajaan Persekutuan dan negeri. Oleh itu, jaminan terhadap ketepatan dan kesahihan data adalah amat penting bagi memelihara integriti syor yang dikemukakan.
Pindaan ini dibuat bagi menangani cabaran yang dihadapi suruhanjaya dalam memperoleh maklumat dan data yang boleh dipercayai semasa menjalankan kajian semula pasaran, termasuk daripada pemain industri dan entiti kerajaan.
Kekurangan akses kepada maklumat sering menjejaskan ketepatan dan kesempurnaan dapatan kajian semula pasaran. Memandangkan hasil kajian semula pasaran sering digunakan oleh suruhanjaya untuk menasihati kerajaan mengenai keadaan persaingan dalam pasaran serta impak kerajaan terhadap pasaran di Malaysia, peruntukan ini adalah penting untuk memastikan suruhanjaya mempunyai kuasa yang mencukupi bagi mendapatkan maklumat yang diperlukan untuk melaksanakan fungsi yang berkesan dalam konteks nasihat dalam sesuatu kajian pasaran.
Sebagaimana baru-baru ini Yang Berhormat Besut pun ada menyebut kepentingan fokus kepada ekonomi digital, MyCC telah pun mengeluarkan satu kajian pasaran, market review dalam konteks di bawah perspektif Undang-undang Persaingan untuk kita memperkukuhkan ekosistem khususnya eCommerce, e-Dagang yang ada di negara kita.
Jadi, kita perlu untuk mempunyai kuasa untuk mewajibkan pihak-pihak yang berkenaan untuk membantu akses kepada maklumat, memberikan maklumat supaya kajian pasaran yang dilakukan itu menjadi lebih komprehensif dan dapatan yang baik untuk kita berikan nasihat kepada pihak-pihak yang berkenaan khususnya kerajaan dalam mempertimbangkan sebarang penggubalan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup - Datuk Armizan bin Mohd Ali
Yang Berhormat Besut untuk makluman contohnya di bawah laporan market review dengan izin yang dibuat oleh MyCC terkait dengan ekonomi digital tersebut.
Antara dapatannya adalah wujudnya vacuum dengan izin dalam konteks undang- undang, kerangka perundangan e-commerce, e-dagang di negara kita, di mana undang- undang sedia ada— saya bagi contoh, undang-undang sedia ada itu hanyalah iaitu Akta Perdagangan Elektronik hanyalah berupa enabling legislation untuk mengiktiraf perdagangan elektronik tetapi tidak ada mana-mana undang-undang yang mengawal selia tanggungjawab sama ada di peringkat penyedia platform e-dagang, vendor dalam talian, vendor pasar dalam talian dan begitu juga tanggungjawab pengguna.
Jadi, antara syor yang dikemukakan melalui market review tersebut adalah supaya diwujudkan ya satu undang-undang baru yang lebih komprehensif, yang sekali gus boleh membantu pertumbuhan ekonomi, sektor ekonomi digital negara kita dengan lebih progresif, selamat dan juga adil kepada semua pihak.
Seperkara lagi Yang Berhormat, sebelum saya pergi kepada soalan-soalan spesifik yang tidak disebutkan secara menyeluruh, perkara yang dibangkitkan berkaitan dengan perlindungan kepada pemberi maklumat. Banyak Ahli Yang Berhormat yang menyebut tentang perkara ini.
Peruntukan baru seksyen 64A dimasukkan ke dalam akta ini adalah untuk memberi perlindungan kepada pemberi maklumat bagi amalan anti-persaingan bahawa akta— kerana Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 kita tahu Whistleblower Act itu adalah tidak terpakai kepada tindakan penyiasatan dan penguatkuasaan yang dijalankan oleh suruhanjaya di bawah Akta 712.
Hal ini kerana akta Whistleblower Act merupakan satu akta yang memberi perlindungan kepada orang yang membuat pendedahan kelakuan tidak wajar, di mana di seksyen 2, Akta 71 mentakrifkan perkataan kelakuan tidak wajar sebagai apa-apa kelakuan yang jika terbukti menjadi suatu kesalahan tatatertib atau kesalahan jenayah.
Jadi, bila mana kita tahu bahawa Akta Persaingan ini adalah civil in nature, maka kita tidak boleh mengguna pakai Whistleblower Act. Itu sebabnya kita masukkan apa nama di dalam pindaan kepada akta ini supaya kita ada peruntukan khusus yang memberi perlindungan kepada pemberi maklumat untuk kita menjalankan siasatan yang terkait dengan isu anti-persaingan yang wujud.
Tetapi perlindungan di bawah seksyen 64 ini adalah terhad bagi tujuan Akta 712 sahaja dan untuk mengelakkan sebarang dengan izin legal consequences yang tidak dijangka, sekiranya Akta 711 dipinda secara keseluruhan, bagi memastikan perlindungan kepada pemberi maklumat untuk kesalahan yang bersifat civil in nature.
Pindaan untuk memasukkan peruntukan khas di dalam Akta 712 yang memberikan perlindungan kepada orang yang membuat pendedahan mengenai pelanggaran larangan yang diperuntukkan di bawah seksyen 4 dan seksyen 10, Akta 712 juga dibuat untuk menggalakkan pemberi maklumat supaya tampil dan memberi maklumat kepada suruhanjaya mengenai amalan anti-persiangan dalam pasaran.
Puan Yang di-Pertua, seterusnya selain daripada pemberian maklumat, berbangkit isu tentang ganjaran kepada pemberi maklumat. Juga ramai Ahli Yang Berhormat yang membangkitkan. Peruntukan baru seksyen 64B akan dimasukkan ke dalam Akta 712 untuk memberikan suruhanjaya punca kuasa untuk memberikan ganjaran kepada pemberi maklumat yang memberikan apa-apa maklumat atau bantuan berhubungan dengan apa-apa pengesanan pelanggaran larangan seksyen 4 atau 10 serta kesalahan di bawah Akta 712.
Pindaan ini dilihat akan menggalakkan pemberi maklumat supaya tampil dan memberi maklumat kepada suruhanjaya mengenai amalan anti persaingan dalam pasaran. Perkara ini merupakan suatu investigation tool yang boleh membantu proses penyiasatan yang dijalankan oleh suruhanjaya sepertimana yang dapat dilihat di badan penguat kuasa yang lain di Malaysia, yang memberikan ganjaran kepada pemberi maklumat.
Puan Yang di-Pertua, saya ingin juga menjelaskan, dibangkitkan tentang isu tawaran penyelesaian seksyen 38A yang apa bezanya dengan rejim kelonggaran, seksyen 41. Begitu juga Aku Janji dalam seksyen 43. Berkaitan dengan tawaran penyelesaian seksyen 38A, ia merupakan satu proses untuk penggunaan, untuk memastikan penggunaan sumber suruhanjaya dapat dioptimumkan secara cekap melalui penyelesaian kes yang lebih cepat.
Mekanisme tawaran penyelesaian juga dapat mengurangkan keperluan prosiding yang panjang termasuk risiko mitigasi selepas keputusan akhir dikeluarkan.
Untuk tawaran penyelesaian ini Puan Yang di-Pertua, adalah diberikan tawaran peruntukan ini bila mana sesuatu keputusan cadangan telah pun dibuat oleh suruhanjaya. Selepas itu, bila mana dilihat tawaran boleh diberikan untuk kita dapat memastikan sumber MyCC yang agak terhad itu dapat dioptimumkan.
Dan antaranya kita mengambil kira kepada benchmarking dengan izin yang telah dibuat. Kalau dari segi tawaran penyelesaian ini, begitu juga ia wujud ya. Dalam negara kita lihat juga wujud dalam punca kuasa perundangan, even dalam criminal court, bursa LHDN, SPRM dan juga suruhanjaya Security Commission.
Dan yang dibangkit tentang isu 40 peratus, ada yang menyebut sebahagian besarnya menyebut terlalu tinggi diskaun yang boleh diberikan sehingga 40 peratus.
Apa yang dimaksudkan di sini adalah tahap tawaran penyelesaian itu sehingga 40 peratus. Namun, pertama saya ingin jelaskan bahawa keputusan ini perlulah dibuat oleh suruhanjaya secara kolektif, bukannya mana-mana ahli suruhanjaya boleh membuat keputusan secara individu tetapi adalah wajib keputusan melalui suruhanjaya.
Yang kedua, ia juga melalui pertimbangan-pertimbangan Puan Yang di-Pertua, melihat kepada nilai dan impak kes kepada orang awam dan perusahaan lain, nilai kuantiti dan kebergunaan kerjasama perusahaan semasa siasatan dijalankan, kecekapan prosedur dan penjimatan sumber suruhanjaya yang boleh atau berjaya diperolehi dan juga pematuhan berterusan.
Dato’ Hajah Mumtaz binti Md Nawi - Tumpat
[Bangun]
Datuk Armizan bin Mohd Ali
Dan kalau kita lihat Puan Yang di-Pertua contohnya di Singapura, bentuk tawaran penyelesaian ini juga diberikan sehingga ke tahap 30 peratus. Begitu juga United Kingdom sehingga 20 peratus, EU 20 hingga 30 peratus, India 15 peratus, Hong Kong 50 peratus dan New Zealand 20 peratus.
Dan pada peringkat kita walaupun tawaran itu sehinggalah ke tahap 40 peratus, namun kita akan melihat juga kepada gravity of cases ya sebab kita Puan Yang di- Pertua, kita sedia maklum Suruhanjaya Persaingan dari segi kapasiti kita pada peringkat ini sungguhpun ia telah pun kita ada undang-undang bermula tahun 2010 dan MyCC mula beroperasi, namun dari segi kapasiti itu kita perlu lagi pertingkatkan.
Itu sebabnya kita melihat bagaimana sekiranya sesuatu keputusan pelanggaran itu telah pun kita berjaya peroleh untuk seboleh mana kita mengelakkan daripada pihak yang berkenaan untuk pergi ke peringkat setelah ke peringkat tribunal dan proses yang selanjutnya, maka kita boleh menawarkan. Namun tidaklah— saya ingin sebutkan, tidaklah bermaksud kita akan cross the board dengan izin, memberikan tawaran sehingga 40 peratus kepada semua peringkat.
Dato’ Hajah Mumtaz binti Md Nawi - Tumpat
Yang Berhormat Menteri, saya nak tanya sikit. Terima kasih Menteri. Saya berpuas hati dengan penjelasan itu. Walau bagaimanapun kerana tadi disebut bahawa ini merupakan tindakan sivil, ia bukan merupakan tindakan jenayah. Jadi dalam tindakan jenayah, sekiranya berlaku sebarang pelanggaran ataupun penyalahgunaan hak, maka dengan sendirinya terus terdapat interim order. Dalam kes melibatkan monopoli, ia walaupun bukan kes jenayah tapi ia melibatkan kesan yang besar kepada masyarakat.
Dato’ Hajah Mumtaz binti Md Nawi - Tumpat
Jadi saya ingin tanya, apakah tempoh masa bila mana mereka menerima notis perlanggaran daripada suruhanjaya untuk menghentikan tindakan monopoli itu dibuat oleh pihak perusahaan. Dan kalau ia melibatkan perusahaan-perusahaan, bagaimanakah agihan dari segi tawaran penyelesaian tadi akan dibuat kepada perusahaan-perusahaan kerana saya percaya bila melibatkan monopoli ini, dia bukan hanya melibatkan satu ataupun dua syarikat sahaja. Terima kasih.
Datuk Armizan bin Mohd Ali
Dalam konteks kita memastikan bila mana daripada pengalaman yang kita lalui dalam penguatkuasaan dan sesuatu keputusan dilaksanakan, itu sebabnya kita bermula dengan keputusan cadangan. Dengan adanya keputusan cadangan tersebut, kita boleh dapat memastikan bahawa di peringkat sekiranya berlaku aktiviti-aktiviti sama ada dalam bentuk kartel pakatan atau pun penyalahgunaan kuasa dominan monopoli bermasalah itu, maka pihak-pihak yang berkenaan akan menghentikan tindakan mereka dengan keputusan cadangan yang dibuat. Kerana ia akan subjek kepada representasi lisan dan sebagainya sebelum satu- satu keputusan akhir, keputusan muktamad dibuat.
Jadi itu sebabnya Puan Yang di-Pertua, bila mana kita membuat keputusan dalam konteks...
Puan Hajah Rodziah binti Ismail - Ampang
[Bangun]
Datuk Armizan bin Mohd Ali
Memberikan tawaran penyelesaian ini, tidak bermaksud bahawa pemantauan berterusan dilakukan terhadap aktiviti mereka. Begitu juga sebenarnya bukan hanya dari segi tawaran penyelesaian. Kalau diminta tadi perbezaan dengan seksyen 43, “Aku Janji” contohnya, sungguhpun bila mana kita memberi ruang untuk “Aku Janji” sebelum keputusan dibuat.
Sekiranya kita melihat setelah pihak-pihak yang berkenaan memberikan “Aku Janji” dan masih lagi melakukan tindakan-tindakan ataupun yang berunsurkan kepada anti persaingan tersebut, maka MyCC boleh untuk mengambil tindakan selanjutnya bila mana dilihat berlaku pelanggaran kepada “Aku Janji” yang telah pun dikemukakan.
Seksyen 41 pula adalah terkait dengan rejim kelonggaran yang juga merupakan satu tawaran untuk membantu mengesan dan membongkar kes kartel yang lazimnya sukar dikesan kerana operasi yang sulit. Melalui rejim ini, mana-mana ahli kartel yang tampil secara sukarela dan memberikan maklumat atau bukti penting boleh membantu, leading to the dengan izin, usaha kita untuk mengenal pasti aktiviti anti persaingan tersebut. Maka, suruhanjaya boleh memberikan rejim kelonggaran kepada perusahaan yang berkenaan.
Puan Hajah Rodziah binti Ismail - Ampang
Yang Berhormat Menteri, Ampang. Saya juga ingin bertanya. Kalau macam itu, kenapa kita tidak menjadikan dari sudut perundangannya, ini adalah kesalahan, boleh dijadikan kesalahan jenayah. Sebab yang kita nampak ini lebih diplomasilah daripada kita walaupun ia nya bawah sivil tetapi ia nya macam banyak diplomasi yang kita bagi.
Kalau kita buat pindaan ini, saya rasa kalau kita boleh kaitkan supaya ia dimasukkan sebagai jenayah, ia nya lebih menggerunkan pihak-pihak yang melaksanakannya. Jadi, mungkin kena ada juga pertimbangan supaya ke arah itu perlu dilakukan, bukan lagi dalam kesalahan sivil semata-mata.
Datuk Haji Idris bin Haji Ahmad - Bagan Serai
Menteri, sikit sahaja. Terima kasih kepada Timbalan Speaker. Oleh kerana rang undang-undang ini tadi tidak menyebut tentang adanya merger control yang memang dibahas dengan jelas oleh pihak di luar sana, apakah dalam soal untuk hendak mengawal selia berkenaan dengan merger control dengan izin, supaya ia nya juga merupakan salah satu daripada penyumbang kepada soal kartel ini tadi. Terima kasih Speaker.
Datuk Armizan bin Mohd Ali
Terima kasih Puan Yang di-Pertua. Saya respons sekali antara apa yang dibangkitkan oleh Ampang dan juga Yang Berhormat Bagan Serai. Sebagaimana yang saya sebutkan tadi bahawa kita tahu MyCC ini walaupun usianya daripada segi penguatkuasaan telah lebih daripada 12 tahun namun kita sedar bahawa dari segi kapasiti itu perlu untuk kita perkasakan lagi.
Pertama, dari segi merger control regime yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Bagan Serai dan juga beberapa Ahli Yang Berhormat yang lain. Memang pengenalan rejim kawalan penggabungan atau pencantuman ini adalah antara perkara yang penting untuk kita melengkapkan undang-undang persaingan di negara kita.
Namun, ia juga terkait dengan usaha sebagaimana terkandung dalam RMK13 yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Ampang. Keperluan untuk kita melaksanakan pemusatan kuasa di antara pelbagai bentuk kawal selia persaingan yang wujud yang kalau kita lihat dalam akta ini ada pengecualian dibuat terhadap aspek-aspek tertentu, akta-akta tertentu.
Jadi, kita melihat satu sudut bahawa perlunya kajian ataupun engagement dengan izin, libat urus yang lebih menyeluruh dengan pelbagai agensi-agensi yang berkenaan yang masing-masing ada bidang kuasa masing-masing.
Dan pada masa yang sama, MyCC perlu untuk ditingkatkan kapasiti penguatkuasaan itu segera. Jadi keputusan yang telah dibuat adalah pertama, kita fokuskan pindaan pada kali ini untuk meningkatkan kapasiti penguatkuasaan kepada MyCC melalui pindaan-pindaan yang telah pun digariskan.
Dalam aspek merger regime control dan juga pemusatan kuasa untuk persaingan, anti persaingan itu akan dilaksanakan dalam tempoh RMK13 tersebut. Jadi, bila mana kita buat merger regime control tetapi masih ada, tidaknya ada wujud pemusatan di antara pelbagai akta yang berbeza yang ada kawal selia persaingan masing-masing, ia akan dari segi pelaksanaan nanti akan mendatangkan permasalahan.
Jadi diputuskan bahawa pada peringkat ini sebab kita di KPDN, MyCC tidak boleh tunggu dari aspek kapasiti peningkatan dari segi siasatan, akses kepada rekod dan sebagainya kita mulakan dahulu. Dan untuk merger regime control itu akan insya- Allah dibersekalikan dalam tempoh RMK13 ini dengan inisiatif sebagaimana telah digariskan untuk memusatkan kuasa kawal selia kepada persaingan merentasi pelbagai bidang kuasa kawal selia, yang Akta Komunikasi Multimedia, begitu juga daripada petroleum dan sebagainya kelak. Jadi, kita mulakan dengan fasa yang terkandung dalam pindaan yang kita cadangkan.
Puan Yang di-Pertua, Kota Belud sudah tidak ada dalam Dewan. Putatan, tiada juga. Betong pun saya fikir saya telah jawab Yang Berhormat dalam perkara-perkara yang banyak. Masa pun dah habis. Kangar, Rompin, Kepong, Rasah. Rasah ini Pengerusi Jawatankuasa Pilihan ingat semua dah settle rupanya banyak juga perkara yang dibangkitkan dan saya fikir perkara-perkara yang dibangkitkan itu fokus kepada dari segi pelaksanaan. Dan juga penjelasan lanjut dan ada perkara-perkara yang insya- Allah Rasah, dari segi peraturan dan garis panduan nanti kita akan perkemaskan untuk memastikan penguatkuasaan berjalan dengan efektif.
Besut menyebut tentang satu, saya mohon maaf Besut, saya tidak ada details yang lengkap tentang kes yang disebutkan atau isu yang dibangkitkan terkait dengan JPJ. Cuma pertama, apa yang saya jawab dalam konteks undang-undang persaingan.
Dalam undang-undang persaingan kita disebut perkara-perkara yang bila mana ia dilaksanakan oleh agensi kerajaan, polisi ataupun perwakilan kepada kerajaan adalah terkecuali daripada isu persaingan, daripada penguatkuasaan undang-undang ini selagi mana punca kuasa itu jelas.
Namun, bila mana sesuatu pihak yang mendapat punca kuasa daripada kerajaan dalam konsesi dan sebagainya dan mungkin dalam kes ini, bila mana terdapat unsur- unsur menyalahgunakan kuasa dominan tersebut, maka ia boleh diambil tindakan di bawah kuasa undang-undang.
Datuk Armizan bin Mohd Ali
Contohnya, sesuatu pihak yang diberikan satu konsesi untuk melaksanakan sesuatu perkhidmatan kerajaan dilihat membuat tindakan kuasa dominan yang ada untuk membuat peraturan yang berbeza terhadap dalam perkhidmatan tersebut.
Sebagaimana kalau kita ingat satu kes yang melibatkan MyEG dulu. Maka, ia boleh diambil tindakan penyalahgunaan kuasa dominan.
Cuma, yang saya maklum Yang Berhormat Besut, apa yang concern itu saya fikir lebih wajar dijawab oleh Kementerian Pengangkutan. Cuma, yang saya maklum dari segi aplikasi itu mungkin dari segi aplikasinya. Tetapi dari segi bentuk insurans itu, masih terbuka, masih boleh membuat pilihan. Dan sebenarnya, rakyat masih boleh ada akses untuk membuat renewal itu tanpa menggunakan aplikasi tersebut.
Jadi, masih ada pilihanlah. Namun, untuk penjelasan dengan lebih lanjut, saya fikir wajar dijawab oleh Kementerian Pengangkutan.
Datuk Che Mohamad Zulkifly bin Jusoh - Besut
Menteri, jadi persaingan di dalam aplikasi itu tak ada? Hanya satu - kalau satu syarikat berada dalam aplikasi, macam mana nak ada persaingan?
Datuk Armizan bin Mohd Ali
Okey.
Datuk Che Mohamad Zulkifly bin Jusoh - Besut
Kenapa tak dibuka kepada lain-lain?
Datuk Armizan bin Mohd Ali
Okey. Pertama yang saya sebutkan tadi Yang Berhormat, saya tidak ada maklumat lanjut.
Cuma dalam konteks ini, sekiranya keputusan itu dibuat oleh kerajaan sebagaimana saya sebut, mungkin Kementerian Pengangkutan ada alasan dan juga rasional mereka. Maka ia tidak— kita tidak— sekiranya menjalankan fungsi kerajaan, maka ia boleh tidak tertakluk kepada undang-undang persaingan yang kita ada ini ya.
Tapi saya mohon maaf sebab saya tidak boleh menjawab sepenuhnya. Tidak adil sekiranya saya menjawab tanpa saya mengetahui apa sebenarnya kes yang berlaku.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Yang Berhormat Menteri, banyak lagi? Sini.
Datuk Armizan bin Mohd Ali
Puan Yang di-Pertua, saya fikir masa pun sudah banyak dan sebahagian besar daripada isu yang dibangkitkan telah pun saya beri respons. Dan sebahagian besar— hampir keseluruhanlah Ahli-ahli Yang Berhormat pun telah memberikan sokongan kepada pindaan RUU yang kita bawa, yang sebenarnya penting.
Yang penting, bukan sahaja untuk memastikan integriti kepada pasaran tetapi yang sebagaimana Yang Berhormat— yang disebut oleh beberapa Yang Berhormat tadi, Ampang— bahawa penting juga untuk perlindungan kepada pengguna kita. Jadi, kita mengharapkan sokongan daripada Ahli-ahli Yang Berhormat supaya pindaan ini dapat dipersetujui dan diluluskan di Dewan yang mulia ini, terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Terima kasih Yang Berhormat Menteri. Ahli-ahli Yang Berhormat, sekarang saya kemukakan masalah kepada Majlis bagi diputuskan. Masalahnya ialah bahawa rang undang-undang ini dibaca kali yang kedua sekarang.
[Masalah dikemukakan bagi diputuskan; dan disetujukan]
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup - Datuk Armizan bin Mohd Ali
Puan Yang di-Pertua, “Mengikut Peraturan Mesyuarat 12(1), saya mohon mencadangkan bahawa Mesyuarat pada hari ini ditangguhkan sekarang dan selepas itu, Majlis Mesyuarat akan ditangguhkan sehingga jam 10 pagi, hari Isnin, 6 Julai 2026. Ini bagi membolehkan pertimbangan Rang Undang-undang Persaingan (Pindaan) 2026 pada peringkat Jawatankuasa dibentangkan pada Isnin, 6 Julai 2026 dan disusuli dengan bacaan kali kedua kepada Rang Undang-undang Suruhanjaya Persaingan (Pindaan) 2026 ya, kita sekalikan. ” Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Ada yang Yang Berhormat menyokong?
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat - Puan Lim Hui Ying
Saya mohon menyokong.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Ahli-ahli Yang Berhormat, sekarang saya kemukakan masalah kepada Majlis untuk diputuskan.
Masalah adalah sebagaimana usul yang telah dibentangkan oleh Menteri.
[Usul dikemukakan bagi diputuskan; dan disetujukan]
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Ahli-ahli Yang Berhormat, Mesyuarat Dewan hari ini ditangguhkan hingga jam 10 pagi, hari Isnin, 6 Julai 2026.
[Dewan ditangguhkan pada pukul 5.04 ptg]