Katalog Hansard
[Tuan Yang di-Pertua **mempengerusikan Mesyuarat****]
Tuan Yang di-Pertua
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Selamat pagi, salam bahagia. Kita mulakan pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan dengan saya menjemput Dr. Kelvin Yii Lee Wuen, Bandar Kuching.
Dr. Kelvin Yii Lee Wuen - Bandar Kuching
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Soalan saya nombor 1.
1. Dr. Kelvin Yii Lee Wuen [Bandar Kuching] minta Menteri Kesihatan menyatakan senarai semua inisiatif dan bantuan yang diberikan kepada anak-anak yang mengalami palsi serebrum (cerebral palsy) di Malaysia dan perancangan untuk memberikan bantuan dan sokongan lebih kepada mereka dan keluarga mereka.
Tuan Yang di-Pertua
Silakan Menteri.
Menteri Kesihatan - Datuk Seri Haji Dr. Dzulkefly bin Ahmad
Terima kasih, Tan Sri Yang di-Pertua. Terima kasih sahabat saya Bandar Kuching. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam sejahtera. Salam MADANI semuanya. Tan Sri Yang di- Pertua, palsi serebrum atau bahasa Inggerisnya cerebral palsy (CP) ialah kondisi ataupun keadaan di mana seorang bayi kanak-kanak yang mengalami penjejasan perkembangan saraf kekal yang boleh mengehadkan dan mengganggu keupayaan pergerakan.
Ini terlibat dengan otot-otot yang dikatakan otot-otot gross motor function atau otot- otot kasar. Bangun berdiri dan sebagainya yang mana koordinasi otot, imbangan dan postur badan akibat perkembangan yang abnormal ataupun kerosakan struktur otak yang sedang membesar. Dan kita mengertikan kalau kanak-kanak yang seperti itu mereka mengalami kesukaran untuk duduk, berdiri, berjalan dan untuk mengekalkan keseimbangan tubuh badan mereka dan atas klasifikasi dia ada tahap satu hingga lima. Yang paling teruk mereka tidak even dapat mengawal untuk duduk lebih lagi untuk berdiri. Jadi Tan Sri Yang di-Pertua, itu sikit pengenalan palsi serebrum dan kita nampak kanak-kanak ini selalu terbaring.
Perkara ini boleh berlaku pada peringkat sebelum kelahiran ataupun prenatal, semasa perinatal ataupun selepas postnatal. Tidak semua pesakit CP mengalami gangguan fungsi kognitif, ini adalah betul di mana anggaran 50 peratus pesakit CP mempunyai fungsi kognitif yang normal. Yang normal ya, manakala selebihnya mengalami pelbagai tahap gangguan kognitif. Sejak 2016, rekod KKM menunjukkan seramai 1,076 kes CP telah didaftar serta menerima intervensi awal di klinik-klinik kesihatan di seluruh negara.
Tan Sri Yang di-Pertua, KKM menyediakan perkhidmatan kesihatan kanak-kanak ini melalui saringan pengesanan awal, rawatan rehab, sokongan kepada keluarga dan penjaga, caregiver dan akhir sekali kerjasama rentas agensi dan NGO. Inisiatif-inisiatif yg kami lakukan merangkumi saringan perkembangan berkala intervensi awal pendidikan kesihatan latihan penjagaan di rumah, akses kepada perkhidmatan dan kemudahan yang bersesuaian dengan pusat pemulihan dalam komuniti PPDK kami serta sokongan pengurusan intermittent clean catheterisation ini untuk mereka kencing dan sebagainya di sekolah mengikut keperluan pesakit.
KKM tidak menyediakan bantuan khusus secara langsung kepada kanak-kanak CP kerana ia di bawah kuasa agensi lain. Ia termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Namun KKM membantu melalui penyediaan alat-alat bantuan dan peralatan rehabilitasi berdasarkan penilaian klinikal serta kelayakan pesakit yang disalurkan melalui satu tabung bantuan perubatan yang berada di semua hospital-hospital kami. Dan kedua Tabung Kebajikan Perubatan Malaysia (TKPM) dikendalikan oleh kumpulan PKSP dan juga Majlis Kanser Nasional.
Tan Sri Yang di-Pertua, kita–– manakala bagi pesakit yang tidak memenuhi kriteria bantuan khidmat kaunseling dan juga preskripsi peralatan disediakan bagi memudahkan akses kepada bantuan daripada NGO dan agensi-agensi berkaitan. Terima kasih, Tan Sri Yang di-Pertua. Itu dulu sebagai jawapan Bandar Kuching.
Tuan Yang di-Pertua
Baik, saya jemput soalan tambahan daripada Bandar Kuching.
Dr. Kelvin Yii Lee Wuen - Bandar Kuching
Terima kasih, Tuan Yang di-Pertua.
Terima kasih, Menteri atas jawapan yang tersebut. Saya meneliti jawapan tersebut dan saya walaupun saya rasa ada lebih banyak kita boleh lakukan untuk anak-anak yang mengalami CP ini tetapi saya tahu Kementerian Kesihatan melakukan yang terbaik untuk mereka.
Sebenarnya saya ada satu cadangan–– dua cadangan dan ingin mendapat perhatian dan juga pendapat daripada Yang Berhormat Menteri adalah— setahu saya kita tak ada satu national cerebral palsy registry dan saya rasa itu adalah sangat penting untuk kita mengenal pasti dan juga memantau trend penyakit tersebut, mengenal pasti faktor risiko serta merancang keperluan perkhidmatan dan intervensi secara lebih berkesan. Selain itu, kebanyakan intervensi yang kita lakukan memerlukan contohnya pusat rehabilitasi yang baik.
Saya tahu kepakaran kita tak cukup. Pusat rehabilitasi mungkin penuh dan padat.
Maka saya ingin cadangkan sebenarnya di negara kita, kita ada pusat rehabilitasi di bawah PERKESO which is world class. Saya rasa ada dua akta iaitu Akta 4 iaitu Akta PERKESO dan Akta 586 yang menyekat penggunaan pusat rehabilitasi ini oleh pesakit-pesakit Kementerian Kesihatan. Apakah pandangan Yang Berhormat Menteri? Adakah ada keperluan untuk meminda akta ini untuk kita menubuhkan satu one united healthcare network, di mana pesakit boleh menggunakan semua kemudahan di bawah Kerajaan Malaysia. Terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua
Baik, Menteri.
Datuk Seri Haji Dr. Dzulkefly bin Ahmad
Terima kasih Bandar Kuching ya. Saya sangat sedar Bandar Kuching pernah berkhidmat kepada mantan Menteri PSM, Sumber Manusia ya.
Tan Sri Yang di-Pertua, perkara ini memang telah pun saya adakan perbincangan bersama dengan mantan Menteri yang lalu dan juga kita telah pun bersepakat untuk PERKESO rehab centre sama ada yang baru saya lawat beberapa bulan yang lalu di Melaka dan juga di Ipoh, yang lebih hebat lagi it’s a world class Tan Sri Yang di-Pertua. Saya memandang sangat mustahak untuk kita segera menangani sedikit apa yang dikatakan sebagai kekangan justeru kerana rehab di bawah akta–– rehab apa nya ni di bawah PSM, sumber manusia di bawah Akta 4, sementara kita adalah di bawah Akta 586.
Datuk Seri Haji Dr. Dzulkefly bin Ahmad
Akta 4 menegaskan bahawa hanya pencarum dirawat di rehab centre. Apa yang mustahak Tan Sri Yang di-Pertua ke depan nanti, saya kira dengan world class punya perkhidmatan yang diberikan oleh PERKESO seumpama neuro rehab, walk again, pelbagai program mereka dan mereka memang world class state of service dan state of technology yang mereka ada.
Saya mencadangkan supaya kita segera melakukan, meneruskan perbincangan itu sehinggakan saya dapat apa yang diistilahkan hari ini dengan HSOP ataupun health services outsourcing program kami supaya kami dapat memanfaatkan segala facility world class state-of-the-art rehab PERKESO ini, supaya bukan hanya pencarum tetapi juga boleh merawat pesakit-pesakit yang lain daripada hanya pencarum Ini saya mahu segera lakukan dan terima kasih Bandar Kuching atas soalan.
Tuan Yang di-Pertua
Ya, silakan Kuala Langat.
Dato’ Dr. Ahmad Yunus bin Hairi - Kuala Langat
Terima kasih Tuan Speaker.
Dapatan saya 5,840 kes pada tahun 2017, kes CP direkodkan dan anggaran prevalent 2.6 per 1,000 kelahiran di Malaysia. Begitu juga unjuran jagaan pesakit CP ini lebih kurang dalam 50,000 setahun begitu. Dan apakah usaha kerajaan dalam mengurangkan CP ini seperti yang disebutkan dalam masa kelahiran, sebelum kelahiran dan juga selepas kelahiran?
Apakah tumpuan KKM terutamanya dalam kes-kes mild CP yang mereka ini boleh diberi peluang untuk pendidikan, bekerja dan berkeluarga khusus daripada pendekatan kesihatan untuk mengupayakan dan memberdayakan kumpulan ini. Dan adakah kerajaan akan juga mempertimbangkan yang mana satu pelan tindakan nasional CP ini untuk diwujudkan bagi menyelaraskan dasar pembiayaan dan juga penyampaian perkhidmatan kerana kita tahu bahawa CP ini melibatkan beberapa kementerian, termasuklah KKM, KPM dan juga Kementerian Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
Tuan Yang di-Pertua
YB, YB sebut berapa jumlah tadi kelahiran setahun? Jumlah CP yang lahir?
Dato’ Dr. Ahmad Yunus bin Hairi - Kuala Langat
Prevalent 2.6 per 1,000 kelahiran.
Tuan Yang di-Pertua
So, total , total dia berapa tadi setahun?
Dato’ Dr. Ahmad Yunus bin Hairi - Kuala Langat
Saya sebutkan 5,840 kes di Malaysia setakat ini. Itu rekod pada 2017.
Tuan Yang di-Pertua
Ooh, okey Menteri tolong.
Datuk Seri Haji Dr. Dzulkefly bin Ahmad
Tan Sri di-Pertua, soalan-soalan yang sangat baik saya kira dan untuk pengetahuan Ahli-ahli Yang Berhormat, ya kita tahu bahawa dari sudut incidences-nya, daripada tahun 2023, 2024, 2025 saja, saya memerhatikan kita punya apa ni jumlahnya yang mengalami ini adalah tak kurang daripada dalam ingatan saya hampir 440,000 cases ya dan izinkan saya mencari faktanya itu dan sepertimana yang dicadangkan oleh Bandar Kuching sebentar tadi, satu registry untuk kita wujudkan ya.
Jadi untuk saya, saya masih lagi tak berjumpa dengan jumlah yang saya nak sebutkan. Apa pun Tan Sri di-Pertua, Kuala Langat sedia maklumi cases yang terkait dengan CP ini bukan satu yang mudah. Kalau ia berlaku sebelum dalam dikata pranatal ia adalah antara lainnya kerana infeksi Tan Sri Yang di-Pertua. Sebab itu kita ibu-ibu mengandung diberikan vaksinasi MMR, measles, mumps and rubella. Sekarang rubella itu memang nyata membawa kepada jangkitan yang boleh daripada ibu kepada anak, crossing the placenta. Jadi, ini memang satu yang establish tetapi perinatal itu, semasa kelahiran itu juga adalah antara penyebabnya dan perinatal ini juga adalah ia terkait dengan apa pun kondisi yang dinamakan hypoxic-ischemic encephalopathy, di mana kekurangan oksigen ketika itu meletakkan terkesannya kanak-kanak seperti ini dan juga sebagai postnatal itu mungkin jugalah ia terkait dengan jangkitan kuman ke otak dan sebagainya, kecederaan otak dan sebagainya.
Tan Sri di-Pertua ya, kita akan terus membuat pelbagai usaha sepertimana yang saya sebutkan tadi, usaha-usaha saringan, usaha-usaha rawatan dan rehab multi discipline dan kita mahukan kanak-kanak CP ini. Saya pernah tengok dalam beberapa NGO yang saya dijemput sama contohnya di GAPS, Gabungan Anak-anak Cerebral Palsy Putrajaya, saya dapati bahawa mereka mempunyai kognitif, keupayaan yang hampir sama dan normal Tan Sri Yang di-Pertua.
Sebab itu lebih segera kita dapat lakukan dan lebih kita ambil pendekatan whole-of- government dengan bukan sahaja kerajaan, KKM kita juga KPW, BSM dan juga sumber manusia dan yang lain. Saya kira kita akan dapat menangani dan mengizinkan anak-anak CP ini kekal menjadi produktif dan dapat menyumbangkan potensi dan merealisasikan potensi mereka untuk berkhidmat kepada masyarakat, kepada negara.
Data KKM menunjukkan 1,076 kes dari 2016 sehingga 2025 yang direkodkan di klinik dan hospital KKM ya. Saya masih lagi tak dapat cari.
Tuan Yang di-Pertua
Tak apa Menteri. Tolong jawab secara bertulis kalau tak dapat tadi ya.
Datuk Seri Haji Dr. Dzulkefly bin Ahmad
Ya jadi yang mustahak untuk saya sambut Kuala Langat dan juga ya sini. Jumlah pesakit yang dirujuk, maaf yang di situ yang saya maksudkan tadi adalah bantuan perubatan sama ada dalam bantuan perubatan tabung bantuan perubatan dan juga tabung yang dikatakan tabung kebajikan perubatan yang dijaga oleh PKSP, pegawai kerja sosial perubatan. Yang itu yang saya maksudkan dengan 440,000 itu Tan Sri.
Itu adalah untuk bantuan yang dirujuk kepada pegawai kerja sosial perubatan.
Adapun kes yang saya maksudkan tadi adalah 1,076 kes dari 2016 saja daripada 2025 hingga ke saat ini dalam hospital-hospital KKM Tan Sri. Ya saya menyambut cadangan supaya kita akan terus menggabungkan, menggemblengkan tenaga kita supaya dapat kanak-kanak CP ini di samping apa yang saya sebutkan tadi, dalam komuniti dan sebagainya, pendekatan yang mustahak adalah untuk mereka diberikan segala sokongan untuk mereka dapat berfungsi seperti kanak-kanak normal yang tidak ada terjejasnya kognitif mereka Tan Sri Yang di-Pertua. Terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua
Baik, terima kasih Menteri. Seterusnya saya jemput Tuan Haji Muhammad Fawwaz bin Mohamad Jan, Permatang Pauh.
Tuan Haji Muhammad Fawwaz bin Mohamad Jan - Permatang Pauh
Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Soalan saya nombor 2.
2. Tuan Haji Muhammad Fawwaz bin Mohamad Jan [Permatang Pauh] minta Menteri Pengangkutan menyatakan mengapa pelaksanaan projek LRT3 terus berdepan kelewatan dan pertambahan kos sehingga menimbulkan persoalan terhadap kecekapan kerajaan dalam mengurus projek pengangkutan awam yang melibatkan wang rakyat.
Tuan Yang di-Pertua
Silakan, Menteri
Timbalan Menteri Pengangkutan - Datuk Haji Hasbi bin Haji Habibollah
Bismillahirahmanirahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Tuan Yang di- Pertua, dengan izin pertanyaan ini akan dijawab bersekali dengan pertanyaan YB Shah Alam, soalan nombor 94 yang juga bertarikh pada hari ini.
Untuk maklumat Ahli Yang Berhormat, LRT Laluan Shah Alam, LRT3 telah diluncurkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri pada 28 Jun 2026, iaitu semalam dan mula beroperasi pada hari ini 29 Jun 2026, setelah semua aspek keselamatan sistem dan operasi dipatuhi dan diperakui oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan kelulusan pembukaan oleh Yang Berhormat Menteri Pengangkutan.
Bagi menyemarakkan pembukaan laluan LRT Laluan Shah Alam ini juga, dengan seiring dengan usaha untuk menggalakkan penggunaan pengangkutan awam, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri semalam turut mengumumkan tambang percuma selama 30 hari bermula pada hari pertama operasi laluan Shah Alam iaitu daripada 29 Jun hingga 31 Julai 2026. Ini meliputi perkhidmatan tren laluan Shah Alam serta bas perantara yang beroperasi di sepanjang laluan tersebut.
Sebanyak 22 set tren tiga gerabak yang digunakan untuk LRT3 dijangka mampu menampung anggaran 6,210 penumpang setiap jam, setiap arah ataupun dengan izin passengers per hour per direction atau 223,560 penumpang sehari. Unjuran jumlah perjalanan penumpang harian pada tahun pembukaan iaitu yakni tahun ini adalah sebanyak 67,000 sehari.
Timbalan Menteri Pengangkutan - Datuk Haji Hasbi bin Haji Habibollah
Sehubungan itu, kapasiti perkhidmatan LRT3 adalah mencukupi bagi menampung keperluan pengguna. Tuan Yang di-Pertua, untuk maklumat Ahli Yang Berhormat, projek LRT Laluan Shah Alam (LRT3) yang menghubungkan Bandar Utama ke Johan Setia sepanjang 37.8 kilometer telah mengalami kelewatan berikutan beberapa isu pengintegrasian sistem yang dikesan semasa ujian kritikal yang dijalankan. Ujian-ujian integrasi ini dijalankan berulang-ulang kali secara interaktif sehingga kesemua isu-isu tersebut berjaya diselesaikan bagi menjamin keselamatan dan keselesaan pengguna serta kelancaran operasi tren.
Ingin dijelaskan juga bahawa tiada sebarang penambahan kos memandangkan projek ini merupakan projek kontrak harga tetap (fixed-price turnkey contract), dengan izin.
Malah, kontraktor berhadapan denda lewat siap (delay damages) sebanyak RM2.729 juta sehari.
Projek LRT3 merupakan antara pelaburan strategik kerajaan dalam memperkukuh infrastruktur pengangkutan awam negara. Kerajaan berharap pembukaan laluan Shah Alam ini akan menjadi pemangkin kepada peningkatan penggunaan pengangkutan awam di negara ini. Terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua
Baik, saya jemput Permatang Pauh.
Tuan Haji Muhammad Fawwaz bin Mohamad Jan - Permatang Pauh
Baik, terima kasih Tan Sri Yang di-Pertua. Terima kasih Yang Berhormat Timbalan Menteri atas jawapan yang sangat baik. Cuma Yang Berhormat Menteri, saya ingin bertanya sikit. Pada tahun 2018, Kementerian Kewangan ada mengeluarkan satu kenyataan media memaklumkan bahawa peruntukan LRT ini dikurangkan hampir 47 percent daripada 31.6 bilion kepada 16.6 bilion atas alasan untuk menjimatkan wang rakyat lah. Antara yang dipotong, daripada 42 tren set gerabak kepada 22 set, saiz depoh dikurangkan, rekaan saiz bentuk stesen juga mengikut standard LRT dan ada beberapa perubahan lain lah.
Cuma persoalan saya sekarang ini, adakah dengan pemotongan dan penjimatan tersebut, adakah tidak berbangkit isu seumpama koc LRT menjadi padat dan penuh ketika waktu puncak dan waktu sesak seperti yang berlaku di LRT di Kelana Jaya. Terima kasih Tan Sri Yang di-Pertua.
Tuan Yang di-Pertua
Sila Menteri.
Tuan Haji Onn bin Abu Bakar - Batu Pahat
[Bangun]
Datuk Haji Hasbi bin Haji Habibollah
Terima kasih Yang Berhormat. Maklumat yang disampaikan oleh Yang Berhormat itu memang betul lah. Kajian dibuat pada 2018 tetapi daripada unjuran yang dibuat oleh Bahagian MRT iaitu tentang tadi sebagaimana yang saya jawab tadi. Yang sekarang ini adalah 67,000 sehari pada tahun pertama ini tetapi dijangka pada tahun berikutnya, kapasiti ialah 223,560. Memang sudah diunjurkan begitu dan— sekejap ya. Yang sebenarnya, unjuran memang ada dibuat. Pada masa ini, 2026 – 67,000.
2030, insya-Allah 126,000. Tahun 2040 – 219,100, 2050 – 324,000 di mana kapasiti yang ada pada hari ini ialah 223,560 iaitu bersamaan dengan apa yang diunjurkan untuk 2040 lah.
Jadi, insya-Allah ke hadapan kita, ia nya akan memenuhi keperluan sekarang tetapi kita mempunyai fasa kedua juga projek ini. Insya-Allah yang sekarang ini adalah sampai 2030. Kalau perancangan kita, fasa kedua adalah untuk menambah lima stesen lagi dan tujuh set tren lain sebenarnya. Jadi, platform yang ada sekarang ini, yang tiga gerabak ini semuanya sudah— it just a matter of time-lah kalau diperlukan. Dulu, enam gerabak punya platform dikurangkan lepas kajian kepada empat tetapi tren yang sekarang, tiga. Jadi, ertinya memang ada ruang lagi untuk penambahan di masa depan. Terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua
Baik, saya jemput Batu Pahat.
Tuan Haji Onn bin Abu Bakar - Batu Pahat
Terima kasih Tan Sri Yang di-Pertua.
Pada Timbalan Menteri, soalan tambahan saya. Apakah langkah-langkah pihak kementerian untuk mengoptimumkan penggunaan LRT3 ini mulai penyepaduan bas perantara (park and ride) ataupun laluan pejalan kaki ataupun mod pengangkutan awam lain supaya kadar penggunaan LRT3 ini terus meningkat?
Tuan Yang di-Pertua
Sila Menteri.
Datuk Haji Hasbi bin Haji Habibollah
Terima kasih Yang Berhormat Batu Pahat.
Yang sebenarnya, stesen yang ada sekarang ini, di mana ada dulu yang asal 26 stesen, sekarang dah 20 stesen. Di antaranya ada park and ride yang disediakan iaitu di Kayu Ara, Damansara Idaman, Pasar Klang, Sri Andalas, Bandar Bukit Tinggi, Johan Setia. Jadi, semua tempat ini memang disediakan kemudahan park and ride ini dan sekarang ini pun, ROD memang sudah beroperasi di sana juga untuk memenuhi keperluan pengguna tren ini. Terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua
Baik, seterusnya saya jemput Tuan Kesavan a/l Subramaniam, Sungai Siput.
Tuan Kesavan a/l Subramaniam - Sungai Siput
Terima kasih Tuan Yang di- Pertua, soalan saya nombor 3.
3. Tuan Kesavan a/l Subramaniam [Sungai Siput] minta Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan menyatakan status terkini pelaksanaan projek pembangunan dan penyediaan kemudahan asas di kampung baharu Cina serta kampung tradisi India di seluruh negara dan berapa jumlah peruntukan yang telah disalurkan bagi tujuan tersebut dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini.
Tuan Yang di-Pertua
Sila Menteri.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan - Datuk Hajah Aiman Athirah binti Sabu
Bismillahirrahmanirrahim, Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam Malaysia MADANI, [Membaca selawat] Tuan Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat, untuk makluman Tuan Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat, di bawah Rolling Plan RP 1 Rancangan Malaysia Ketiga Belas bagi tahun 2026, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan telah pun diberikan peruntukan sebanyak RM85 juta untuk pembangunan kampung baru Cina dan selepas ini akan disebut sebagai kampung baru manakala RM2 juta telah diperuntukkan untuk projek pembangunan kampung India.
Kementerian melalui Jabatan Kerajaan Tempatan telah pun meluluskan sejumlah 573 projek pembangunan di kampung baru dengan kos berjumlah RM73 juta dan daripada jumlah keseluruhan RM85 juta yang telah pun diperuntukkan dan ada tiga skop kategori utama yang telah pun diberikan perhatian.
Pertamanya adalah projek pembangunan infrastruktur yang terdiri daripada 366 projek di mana 148 telah pun siap dan 218 masih dalam proses. Seterusnya, Program Bantuan Baik Pulih Rumah sebanyak 197. Daripada situ, 47 siap dan 150 lagi dalam proses dan yang ketiga, Program Bantuan Bina Baru Rumah Kampung Baru. Sebanyak 10 projek yang telah pun diluluskan dan semua projek ini masih belum bermula.
Tuan Yang di-Pertua, bagi projek pembangunan di kampung India pula, Jabatan Kerajaan Tempatan telah pun meluluskan sebanyak 21 projek pembangunan di 18 buah kampung melibatkan enam buah negeri iaitu Johor, Melaka, Selangor, Kuala Lumpur, Perak dan Negeri Sembilan yang merangkumi tiga skop utama iaitu infrastruktur, kemudahan awam dan juga keselamatan. Setakat ini, sebanyak lima projek telah pun siap, 13 projek dalam pembinaan, manakala dua projek lagi dalam proses perolehan dan satu lagi projek masih dalam perancangan.
Kampung baru telah pun diberikan peruntukan sebanyak RM328.9 juta daripada tahun 2023 sehinggalah 2025 bagi pelaksanaan projek pembangunan yang memberi manfaat kepada penduduk di 613 buah kampung baru di seluruh negara dan pecahannya adalah sepertimana berikut:
| TAHUN | PERUNTUKAN | BILANGAN PROJEK KEMAJUAN |
|---|---|---|
| 2023 | RM107.1 juta | 593 |
| 2024 | RM118.8 juta | 631 |
| 2025 | RM102.9 juta | 560 |
Bagi kampung India, Tuan Yang di-Pertua, peruntukan khas mula disalurkan dan diselaraskan oleh kementerian ini pada tahun 2025 dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM15 juta dan peruntukan ini telah pun dibahagikan kepada dua inisiatif utama yang memberi manfaat kepada 22,104 penerima di 50 buah kampung India yang telah pun dikenal pasti melalui 87 projek. Melalui Inisiatif Belanjawan KPKT 2025, RM10 juta melibatkan 54 projek, manakala Inisiatif Program Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat India melalui MITRA, tahun 2025 sebanyak RM5 juta.
Tuan Yang di-Pertua, Kerajaan Malaysia MADANI khususnya melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan sentiasa komited dan konsisten untuk kita memperkasakan agenda pembangunan komuniti di kampung baru dan juga kampung India dan setiap Ringgit daripada yang diperuntukkan ini akan dapat dipastikan memberikan impak yang maksimum kepada kesejahteraan penduduk kita. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Tuan Yang di-Pertua
Baik, saya jemput Sungai Siput.
Tuan Kesavan a/l Subramaniam - Sungai Siput
Terima kasih Yang Berhormat Timbalan Menteri KPKT, terima kasih di atas jawapan tadi. Soalan tambahan saya, apakah asas atau kriteria yang digunakan oleh KPKT dalam menetapkan jumlah agihan peruntukan tahun 2026 memandangkan terdapat jurang yang sangat besar agihan peruntukan bagi kampung baru Cina iaitu RM85 juta berbanding dengan Kampung India, hanya RM2 juta.
Sekian, terima kasih Tan Sri Yang di-Pertua.
Tuan Yang di-Pertua
Baik, Menteri.
Datuk Hajah Aiman Athirah binti Sabu
Tuan Yang di-Pertua, seperti yang saya maklumkan tadi, bahawa pembangunan di peringkat kampung India ini baru diserahkan kepada kita pada tahun 2025 dan kita akan sentiasa menambah baik. Dan kalau kita lihat tadi, kita sebutkan ada kelulusan 21 projek kampung baru India untuk 2026 berbanding dengan kampung baru Cina yang telah pun established lama, Tuan Yang di-Pertua sejumlah 613 buah kampung.
Dan kita memberikan tumpuan kepada enam negeri sepertimana yang kita sebutkan, Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur, Selangor dan juga Perak. Ini adalah berdasarkan kepada maklumat yang telah diberikan oleh kerajaan-kerajaan negeri. Kita di peringkat kementerian telah pun meminta seluruh kerajaan negeri untuk memberi maklum balas kepada kita, di manakah kampung-kampung India yang ada di negeri masing-masing.
Kalau kita lihat contohnya Pulau Pinang dan Pahang, langsung memaklumkan kepada kita tidak ada satu tempat pun yang kita boleh namakan sebagai kampung baru India.
Kalau kita lihat daripada enam negeri yang kita utamakan tadi itu, Tuan Yang di- Pertua, ia adalah bersandarkan kepada 52 kampung daripada enam negeri adalah bersandarkan kepada maklum balas yang kita terima dari negeri-negeri iaitu 50 buah kampung itu dikenal pasti sebagai populasi penduduknya dikenal pasti sebagai majoriti kampung India. Kalau Ahli Yang Berhormat sedar, kita tidak ada definisi khusus sebenarnya, tetapi untuk masa ini kita melihat kepada jumlah keseluruhan penduduk yang ada di situ majoritinya India.
Walau bagaimanapun, Ahli Yang Berhormat, memang kita di peringkat Jabatan Kerajaan Tempatan, khususnya Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, kita sentiasa sedang menambah baik dan apa yang dibangkitkan oleh Ahli Yang Berhormat tadi memang kita sedar dan kita juga akan memberikan perhatian yang tinggi dan ini memerlukan kerjasama daripada semua pihak. Dan Ahli Yang Berhormat juga boleh membantu kita dalam urusan ini. Tuan Yang di-Pertua, terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua
Baik, saya jemput Maran.
Dato’ Sri Dr. Haji Ismail bin Abd Muttalib - Maran
Terima kasih Tan Sri Yang di- Pertua. Terima kasih Timbalan Menteri. Soalan saya, kampung baru Cina ini, Tan Sri Yang di- Pertua, dahulu adalah usaha Kerajaan British untuk melindung kaum Cina daripada pengaruh komunis dan tidak kurang juga ada kampung baru Melayu terlibat dengan komunis, orang asli yang terlibat, tetapi kampung-kampung ini tidak termasuk dalam senarai kampung baru.
Jadi saya ingin bertanya, berapakah peruntukan yang diperolehi daripada kampung baru daripada agensi lain, daripada pejabat daerah, Ahli Parlimen? Saya pernah jadi dulu dan saya alirkan peruntukan kepada mereka yang daripada SU dan sebagainya? Dan apakah kerajaan bercadang untuk menyusun semula kampung-kampung baru ini supaya di situ bukan sahaja berasaskan kaum Cina tetapi ada kaum Melayu, ada kaum India? Sebab itulah orang India pun tidak puas hari kerana peruntukan disalurkan kepada mereka agak kecil.
Jadi, saya minta jangan nanti rakyat melihat bahawa kampung baru ini wujud asasnya adalah kerana komunis dahulu. Kita tidak mahu benda itu. Kita hendak supaya perpaduan diwujudkan. Apakah kerajaan bercadang ke arah itu? Terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua
Baik, Menteri.
Datuk Hajah Aiman Athirah binti Sabu
Tuan Yang di-Pertua, memang kampung baru Cina ini diwujudkan semasa darurat. Di mana ia merupakan strategi ketenteraan di bawah Rancangan Briggs daripada tahun 1948 hingga 1960 bagi mengatasi ancaman- ancaman komunis.
Tetapi Tuan Yang di-Pertua, kita juga perlu sedar bahawa kita telah pun 60 tahun merdeka. Ya, kita ada kampung Melayu, kita ada kampung tradisi, kita ada kampung orang asli, kita ada kampung baru Cina yang kita sebutkan sekarang juga kampung baru. Soalan Ahli Yang Berhormat tadi masih terkait juga tentang darurat dan ancaman komunis, saya kira 60 tahun ini sudah jauh berbeza.
Ada pun yang sedang diuruskan oleh Kerajaan Malaysia MADANI pada waktu ini Tuan Yang di-Pertua, untuk kita memberikan tumpuan, kalau kampung baru tradisi itu di bawah KKWD dan juga di bawah pejabat tanah dan daerah. Kalau taman-taman, di bawah majlis perbandaran, manakala di kawasan kampung baru Cina, dan sekarang ini telah pun dikembalikan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan. Dan pada masa yang sama, kita juga mengambil berat sahabat-sahabat kita, rakan-rakan kita daripada kaum India yang kita juga melihat mereka adalah rakyat kita, mereka perlu dibangunkan.
Ada pun yang tadi disebutkan, mungkin ketidakseimbangan itu kalau kita tengok jumlah kampung baru Cina ini ada 613 yang berdaftar dan saya kira sudah cukup, sudah sampai masanya kita berhenti daripada melihat ia sebagai satu strategi Rancangan Briggs Tuan Yang di-Pertua. Ada pun yang ditanya oleh Maran tadi, bagaimana sama ada kita nak selaraskan kampung baru? Ini adalah di bawah agensi lain dan di bawah kementerian lain.
Saya kira kerajaan kita memberikan tumpuan kepada— di mana pun penduduk kita berada.
Terima kasih, Tuan Yang di-Pertua.
Tuan Yang di-Pertua
Baik, seterusnya saya jemput Datuk Haji Mohd Suhaimi bin Haji Abdullah, Langkawi.
Datuk Haji Mohd Suhaimi bin Haji Abdullah - Langkawi
Terima kasih, Tan Sri Yang di-Pertua. Soalan saya nombor 4.
Tuan Yang di-Pertua
Sila, Menteri.
4. Dato' Haji Mohd Suhaimi bin Abdullah [Langkawi] minta Menteri Dalam Negeri menyatakan sejauh mana tahap kesiapsiagaan aset dan anggota agensi keselamatan di Langkawi dalam menangani ancaman aktiviti penyeludupan migran atau barang kawalan serta pencerobohan perairan memandangkan kedudukan Langkawi berhampiran sempadan Malaysia–Thailand, adakah kementerian bercadang untuk mewujudkan penggunaan aset dron (UAV) sepertimana permohonan sebelum ini.
Timbalan Menteri Dalam Negeri - Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar bin Haji Nasarah
Terima kasih Yang Berhormat Tan Sri, sahabat saya Langkawi. Tahap kesiapsiagaan aset dan anggota agensi keselamatan secara keseluruhannya, saya boleh maklumkan bahawa tahap kesiapsiagaan dan anggota dan aset agensi keselamatan Langkawi adalah berada pada tahap baik dan sentiasa diperkukuh dari masa ke semasa.
Melalui peningkatan keupayaan operasi, penempatan aset yang mencukupi serta pelaksanaan operasi penguatkuasaan secara berterusan dan bersepadu, Yang Berhormat.
Bagi pastikan keselamatan perairan sentiasa dipelihara, APMM dan PPM (pasukan polis marin), melaksanakan rondaan laut 24 jam sehari.
Operasi penguatkuasaan berasaskan risikan serta operasi bersepadu bersama agensi keselamatan yang lain melalui pendekatan whole-of-government. Keupayaan ini disokong oleh kekuatan sumber manusia dan aset yang sentiasa berada dalam keadaan siap siaga untuk diatur gerak pada bila-bila masa.
Dalam konteks APMM, Maritim Negeri Kedah, Perlis, diperkukuh dengan pengisian seramai 294 pegawai dan anggota serta jumlah aset Maritim yang terdiri daripada tiga buah kapal, 14 buah bot, yang ditempatkan di Ibu Pejabat Maritim di Kedah–Perlis, Pangkalan Maritim Kuala Kedah dan Pangkalan Maritim Kuala Perlis, Yang Berhormat. Bagi pasukan polis marin pula, kekuatan anggota, pegawai dan aset laut di bawah Wilayah 1, merangkumi Markas Operasi Langkawi dengan lima pegawai kanan polis, 53 pegawai rendah polis, dua buah kapal dan empat buah bot.
Manakala Makmal Taktikal Kuala Perlis dan Makmal Taktikal Kuala Kedah masing- masing mempunyai lapan dan 17 pegawai rendah polis, serta dua buah bot bagi menyokong operasi penguatkuasaan dan kawalan keselamatan di Perairan Utara Semenanjung Malaysia.
Kesemua aset ini Yang Berhormat, diatur gerak secara konsisten di lokasi-lokasi strategik bagi memastikan pengawasan dan pemantauan berterusan dapat dilaksanakan.
Berhubung cadangan penggunaan aset dron, kementerian sememangnya bersetuju dengan keperluan memperluaskan penggunaan teknologi tersebut dan sedang merancang pelaksanaannya secara berperingkat di perairan negara termasuk di Langkawi. Inisiatif ini adalah selaras dengan Pelan Strategik KDN 2026 hingga 2030, dan Pelan Strategik Kecerdasan Buatan KDN 2026–2030.
Penggunaan UAV akan bertindak sebagai pengganda keupayaan kepada aset kapal dan bot sedia ada melalui pelaksanaan pemantau udara secara real-time, khususnya di kawasan luas, berisiko tinggi dan mempunyai liputan penguasaan yang terhad. Untuk makluman, teknologi ini akan membantu meningkatkan keupayaan pengesan awal terhadap pergerakan bot-bot yang mencurigakan.
Yang Berhormat, KDN juga turut meneliti penggunaan teknologi analitik ramalan berasaskan kecerdasan buatan bagi membantu menganalisis corak pergerakan, faktor geografi serta data cuaca untuk mengenal pasti kawasan berisiko dan meramal potensi ancaman keselamatan Maritim. Sebagai langkah jangka panjang Yang Berhormat, untuk memperkukuh kawalan keselamatan di utara Langkawi, kerajaan juga sedang meneliti cadangan mewujudkan Pangkalan Operasi Hadapan Bersepadu di Teluk Ewa, Langkawi yang akan menempatkan APMM, Pasukan Polis Marin dan Pasukan Gerak Am secara bersama.
Inisiatif ini, dijangka meningkatkan kecekapan penyelarasan operasi serta agensi, kita mempercepatkan masa tindakan balas serta memperkukuh keupayaan pengawasan dan penguatkuasaan dalam membanteras jenayah rentas sempadan, Yang Berhormat. Untuk makluman, bagi tujuan pemantauan di kawasan perairan negara, APMM juga menggunakan sistem pengawasan, apa yang dipanggil pengawasan laut (SWASLA) bagi mengesan kontak dan aktiviti mencurigakan di kawasan-kawasan berkenaan dan selain itu, KDN meneliti penggunaan teknologi analitik ramalan berasaskan kecerdasan buatan, AI. Terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua
Baik, saya jemput Langkawi.
Datuk Haji Mohd Suhaimi bin Haji Abdullah - Langkawi
Terima kasih Tan Sri Yang di-Pertua. Terima kasih Yang Berhormat Menteri. Kami menunggu UAV ke Langkawi, melintasi Langkawi. Dan baru-baru ini, Yang Berhormat Tan Sri, beberapa Ahli Parlimen telah melawat Langkawi, melawat Bukit Malut dan sebagainya.
Datuk Haji Mohd Suhaimi bin Haji Abdullah - Langkawi
Kesimpulan yang saya dapat buat daripada lawatan tersebut, tidak cukup anggota, tidak cukup aset Yang Berhormat Menteri. Tapi itu bukan soalan saya.
Soalan saya Yang Berhormat Tan Sri, kalau kita melihat peta pendatang asing daripada Myanmar ini, dia terpaksa melintasi negara-negara lain dahulu sebelum sampai ke Malaysia. Apakah Yang Berhormat negara-negara lain ini buat tak kisah aje kepada mereka ini? Sila jalan masuk ke Malaysia. Malaysia ini negara yang bersimpati, negara Islam yang cukup baik. Sebab itulah laluan ini agak senang.
Soalan saya kepada Yang Berhormat Menteri, apakah perkara ini tidak dibincang langsung semasa ASEAN atau pun antara dua negara di antara kementerian luar ‘negara’ kita dengan negara-negara yang berjiran dengan kita? Seolah-olah senang sangat nak datang ke Malaysia ini. Terima kasih Tan Sri Yang di-Pertua.
Tuan Yang di-Pertua
Ya, sila Menteri.
Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar bin Haji Nasarah
Tan Sri, apa keadaan sekalipun keutamaannya, kita menjaga keselamatan negara dan keselamatan perairan.
Dato’ Mohd Isam bin Mohd Isa - Tampin
[Bangun]
Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar bin Haji Nasarah
Untuk ini, kita memang ada kerjasama dua hala dan penguatkuasaan serantau, Yang Berhormat.
Malaysia melalui APMM, kita sentiasa melaksanakan kerjasama bersama dengan negara-negara jiran di ASEAN Tenggara seperti di Indonesia dan Thailand, termasuk juga di Australia. Dalam usaha kita untuk memantau...
Datuk Suhaimi bin Nasir - Libaran
[Bangun]
Tuan Haji Aminolhuda bin Hassan - Sri Gading
[Bangun]
Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar bin Haji Nasarah
...Aktiviti-aktiviti asing serta cubaan, terutamanya sebagaimana yang disebut oleh Yang Berhormat tadi, kemasukan etnik Rohingya dan kerjasama kalau kita lihat antara Malaysia–Indonesia adalah melalui Tim Perancang Operasi Maritim yang menjalinkan kerjasama dalam bidang operasi dalam membanteras serta membasmi kegiatan haram di Selat Melaka sejak sekian lama lagi.
Kalau kita lihat pula, kita ada kerjasama dengan Thailand melalui SEAEX THAMAL, iaitu merupakan insentif tahunan yang diadakan sejak 1979 di bawah Combined Maritime Working Group Malaysia–Thailand. Ini bertujuan untuk meningkatkan kerjasama operasi dan memperkukuhkan kerjasama keselamatan serantau. Bermakna, apa-apa isu yang berbangkit kita bincang dalam kerjasama yang telah dibentuk. Dalam waktu yang sama, saya boleh berkongsi dengan Yang Berhormat bahawa kalau kita lihat berdasarkan statistik tangkapan APMM di negeri Kedah dan Perlis termasuk Langkawi Yang Berhormat, pada tahun 2025 jumlah tangkapan keseluruhan melibatkan semua jenis kesalahan adalah sebanyak 150 kes. Tetapi sehingga Mei 2026 tahun ini, jumlah tangkapan adalah sebanyak 49 kes.
Bagi tangkapan vesel nelayan asing di perairan Kedah–Perlis pada tahun 2025 adalah sebanyak dua kes, manakala bagi tahun 2026 sehingga Mei adalah sebanyak dua kes. Bagi statistik di bawah pasukan polis marin pula Yang Berhormat, di Kedah dan Perlis tiada tangkapan direkod pada tahun 2025.
Namun pada tahun 2026, sebanyak dua kes direkod di bawah Akta Imigresen 1959/63 melibatkan 10 orang, OKT warga Thailand. Walau bagaimanapun, bagi kesalahan di bawah ATIPSOM, tiada tangkapan direkodkan. Makna, operasi tetapi kita buat dan kerjasama serantau tetap kita lakukan. Ini kerjasama yang telah jadi amalan yang dilakukan.
Walau bagaimanapun, kita sentiasa meningkatkan keupayaan kita dalam semua aspek.
Terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua
Baik, saya jemput Tampin.
Dato’ Mohd Isam bin Mohd Isa - Tampin
Terima kasih Tan Sri Yang di-Pertua. Yang Berhormat Timbalan Menteri, walaupun pelbagai operasi penguatkuasaan telah dilaksanakan oleh KDN menerusi agensi berkaitan namun laporan mengenai tangkapan migran tanpa dokumen, rampasan barang kawalan serta pencerobohan perairan masih terus berlaku.
Keadaan ini telah menimbulkan persoalan besar mengenai kerjasama dua hala antara Malaysia dan Thailand.
Soalan saya, apakah tindakan yang boleh diambil sekiranya Thailand tidak memberi kerjasama dalam isu penyeludupan rentas sempadan ini dan bagaimana pula KDN memastikan nelayan tempatan tidak dieksploitasi oleh syarikat penyeludupan? Terima kasih, Tan Sri Yang di-Pertua.
Tuan Yang di-Pertua
Baik, Menteri.
Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar bin Haji Nasarah
Terima kasih sahabat saya Tampin. Malaysia saya jelaskan tadi sangat komited untuk mengekalkan hubungan kerjasama yang baik dengan Thailand melalui semua saluran diplomatik dan operasi antara agensi penguatkuasaan. Kita memang ada kerjasama berkaitan perkara ini.
Dan sekiranya berlaku isu-isu tertentu, ia akan ditangani melalui mekanisme dua hala sedia ada. Ini bagi memastikan keselamatan sempadan dan kepentingan dua negara yang ada dan terpelihara dan saya percaya kedua-dua negara memang berusaha untuk meningkatkan keselamatan dan menjaga kepentingan masing-masing.
Kalau kita lihat soal isu nelayan yang dibangkitkan tadi, KDN melalui agensi-agensi di bawahnya melaksanakan pendekatan penguatkuasaan dan pencegahan secara serentak.
Kita juga melaksanakan kegiatan melalui agensi di bawah KDN sendiri dan juga rentas kementerian dan juga agensi.
Selain melaksanakan rondaan dan operasi penguatkuasaan, kerjasama dengan komuniti maritim termasuk nelayan juga kita perkukuhkan. Ini sangat penting melalui program-program kerjasama kesedaran, penyaluran maklumat serta menggalakkan orang ramai, orang awam bagi menyalurkan maklumat-maklumat risikan kepada agensi penguat kuasa untuk membolehkan tindakan-tindakan diambil.
Maknanya, selain kita menguatkuasakan undang-undang, tingkatkan kerjasama antara agensi dengan orang awam juga sangat penting terutamanya mereka yang terlibat dalam isu nelayan ini, terima kasih Tan Sri.
Tuan Yang di-Pertua
Baik, seterusnya saya jemput Tuan Haji Manndzri bin Haji Nasib, Tenggara.
Tuan Haji Manndzri bin Haji Nasib - Tenggara
Terima kasih Tan Sri Yang di- Pertua.
Harimau ada, gajahan pun ada, Lintang batu empat lukut temenin; Tenggara tanya soalan lima, Bimbang rakyat jemput Menteri komen. Terima kasih.
5. Tuan Haji Manndzri bin Haji Nasib [Tenggara] minta Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam menyatakan sejauh mana keberkesanan dana tambahan Ecological Fiscal Transfer (EFT) dan program komuniti PERHILITAN dalam mengurangkan konflik manusia- gajah diserta apakah pelan sinergi kementerian bersama agensi berkaitan bagi memperluas penggunaan Pagar Elektrik Gajah (SPEG) bagi melindungi keselamatan penduduk setempat.
Tuan Yang di-Pertua
Sila Menteri.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam - Dato’ Sri Arthur Joseph Kurup
Selamat pagi, salam sejahtera, terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) melalui Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung Malaysia mengambil perhatian yang serius berkaitan konflik manusia dan hidupan liar termasuk gajah yang turut menjejaskan keselamatan penduduk khususnya di negeri Johor.
Daripada tahun 2021 hingga ke Mei 2026, sebanyak 76,361 aduan konflik hidupan liar telah direkodkan di seluruh negara dengan anggaran jumlah kerugian sebanyak RM58.7 juta. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 9,063 aduan konflik telah direkodkan di negeri Johor dengan anggaran kerugian yang telah mencecah RM7.5 juta.
Justeru, bagi melindungi khazanah biodiversiti serta menangani konflik manusia dan hidupan liar, Kerajaan Persekutuan telah melaksanakan Program Ecological Fiscal Transfer for Biodiversity Conservation (EFT) mulai daripada tahun 2019 yang bertujuan untuk menggalakkan kerajaan negeri memperkukuhkan pengurusan kawasan perlindungan serta usaha konservasi biodiversiti.
Sehingga tahun 2025, pelaksanaan EFT telah menyumbang kepada pewartaan kira- kira 90,000 hektar kawasan perlindungan daratan baharu sekali gus memperkukuh pemuliharaan habitat hidupan liar di negeri ini. Bagi tahun 2025 hingga 2026, sebanyak RM600,000 dana EFT telah diperuntukkan untuk memperkukuh pengurusan konflik manusia dan gajah melalui pelbagai inisiatif.
Antaranya melalui pelaksanaan Program Operasi Bersepadu Translokasi Gajah Negeri Johor. Program ini melibatkan lapan kawasan koridor laluan gajah termasuk di daerah Mersing dengan sasaran untuk memindahkan 25 ekor gajah liar ke habitat pada yang lebih sesuai. Dalam tempoh tersebut, sebanyak 29 ekor gajah liar telah berjaya ditangkap dan dipindahkan ke habitat yang lebih sesuai.
Selain itu, sebanyak RM900,000 peruntukan EFT turut digunakan bagi melaksanakan program mitigasi konflik manusia dan hidupan liar di bawah Pelan Hala Tuju Strategik Desa Negeri Johor. Antara inisiatif utama ialah penubuhan dan pemerkasaan Komuniti Pelindung Hidupan Liar (KPHL) yang melibatkan penduduk kawasan konflik.
Sebagai permulaan, KPHL telah ditubuhkan di lima buah kampung di negeri Johor.
Pelaksanaan pelbagai inisiatif di bawah EFT ini telah menunjukkan impak yang positif dan mengurangkan konflik manusia dan gajah di negeri Johor. Hal ini dapat dilihat melalui penurunan lebih 30 peratus bilangan aduan konflik gajah daripada kira-kira 900 aduan pada tahun 2024 kepada sekitar 600 aduan pada tahun 2025.
Bagi tempoh Januari hingga Mei 2026 pula, sebanyak 147 aduan konflik gajah telah direkodkan yang menunjukkan trend penurunan berbanding tahun-tahun sebelumnya.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam - Dato’ Sri Arthur Joseph Kurup
Seterusnya, antara langkah sinergi kementerian bersama agensi berkaitan bagi memperluas penggunaan Sistem Pagar Elektrik Gajah ataupun SPEG untuk melindungi keselamatan penduduk setempat dalam melalui yang pertama, pembangunan halangan fizikal, SPEG dan peralatan litigasi pengurusan gajah serta menaik taraf SPEG sedia ada di bawah RMK13 melalui Program Peningkatan Perlindungan, Kawalan, Pencerobohan, Serangan dan Ancaman Gajah Konflik di kawasan konflik serius dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM30 juta.
Dan yang kedua, pelaksanaan penyelenggaraan dan pembaikan 17 SPEG di Semenanjung Malaysia di bawah program RMK13. Terakhir, dalam memperkukuh keberkesanan langkah-langkah tersebut, saya juga amat menghargai komitmen serta usaha daripada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor yang telah menubuhkan Jawatankuasa Khas Konflik Manusia dan Gajah Negeri Johor pada tahun lalu.
Penubuhan jawatankuasa ini telah memperkukuhkan penyelarasan tindakan antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri serta agensi-agensi berkaitan dalam aspek pemantauan, tindak balas segera, pelaksanaan langkah-langkah mitigasi serta pengurusan konflik manusia dan gajah secara lebih bersepadu dan berkesan. Sekian dan terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua
Baik, saya jemput Tenggara.
Tuan Haji Manndzri bin Haji Nasib - Tenggara
Terima kasih, Tan Sri. Sebelum saya bertanya soalan tambahan ni, saya nak ucapkan terima kasihlah kepada Yang Berhormat Menteri, 13 Jun lalu dah datang ke Tenggara atas jemputan kita. Tapi, saya minta maaf juga kepada Menteri sebab tak dapat nak melayan kerana pada tarikh berkenaan ibu saya meninggal dunia.
Tuan Yang di-Pertua
Inna lillahi.
Tuan Haji Manndzri bin Haji Nasib - Tenggara
Jadi, soalan tambahan saya, mohon kerajaan menyatakan status terkini pembangunan Johor Elephant Sanctuary (JES), peranannya dalam mengurangkan konflik manusia dan gajah di negeri Johor serta manfaat yang bakal dinikmati oleh komuniti setempat melalui usaha pemuliharaan dan pembangunan ekopelancongan. Serta adakah kerajaan bersedia untuk mengkaji pelaksanaan kaedah- kaedah amalan negara lain seperti Kenya, India, Bhutan dengan kaedah guna tanah ataupun koridor gajah atau sistem amaran awal seperti yang dilaksanakan di India dan Sri Langka atau pagar lebah (beehive fence) seperti yang dilaksanakan di beberapa wilayah di Kenya.
Sekian dan terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua
Baik, Menteri.
Dato' Sri Arthur Joseph Kurup
Yang pertama, saya ucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Tenggara atas jemputan ke kawasan pada 13 Jun yang lalu dan saya juga mengucapkan takziah kepada YB Tenggara atas kehilangan ibu tercinta.
Tuan Shaharizukirnain bin Abd Kadir - Setiu
[Bangun]
Dato' Sri Arthur Joseph Kurup
Melalui jemputan tersebut yang memberikan saya peluang untuk sendiri turun ke padang untuk meninjau kawasan, meninjau di kawasan yang terjejas, bertemu dengan penduduk serta mengadakan sesi libat urus dengan wakil-wakil masyarakat untuk mendengar pandangan mereka secara langsung.
Dan hasil daripada lawatan tersebut yang menjadikan asas kepada tindakan yang lebih menyeluruh untuk kementerian saya dan agensi bagi memperkukuh usaha mitigasi konflik manusia dan gajah di kawasan tersebut. Jadi, bagi— untuk maklumat Yang Berhormat, dalam jangka masa panjang kementerian sedang membangunkan Santuari Gajah Johor ataupun Johor Elephant Sanctuary (JES) di kawasan Parlimen Tenggara sebagai antara inisiatif strategik bagi memperkukuh pengurusan dan mengurangkan insiden konflik manusia gajah serta menyokong usaha pemuliharaan spesies gajah secara mampan.
Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey G. Kitingan - Keningau
[Bangun]
Dato' Sri Arthur Joseph Kurup
Pembangunan JES dilaksanakan secara berfasa.
Fasa pertama telah siap sepenuhnya pada tahun 2021 dengan anggaran kos sebanyak RM15 juta melibatkan pembinaan kemudahan asas seperti bangunan pentadbiran, paddock gajah, berek kakitangan serta infrastruktur sokongan yang diperlukan bagi operasi santuari.
Fasa kedua pula melibatkan pembangunan kemudahan pelawat dan pembinaan halangan fizikal dengan anggaran kos sebanyak RM41 juta. Dan saya ingin menyatakan di sini bahawa pembangunan JES dijangka memberikan manfaat yang signifikan dalam pengurusan konflik manusia gajah khususnya di negeri Johor.
Melalui projek ini kita menyasarkan pengurangan sehingga 50 peratus kes konflik manusia gajah dalam tempoh lima tahun akan datang dan untuk sekali gus meningkatkan keselamatan komuniti. Sekian dan terima kasih.
Tuan Shaharizukirnain bin Abd Kadir - Setiu
Setiu.
Tuan Yang di-Pertua
Baik. Saya jemput Setiu.
Tuan Shaharizukirnain bin Abd Kadir - Setiu
Assalamualaikum, Dato’ Yang di- Pertua. Soalan tambahan saya di Setiu merupakan daerah yang sering diserang gajah ni.
Antara yang terbaru minggu lepas. Di Kampung Payong dan boleh dikatakan antara sungutan daripada penduduk kampung ialah kerana ketiadaan pegawai yang mencukupi, tujuh orang untuk kawal Setiu dan Besut. Di samping itu, kelengkapan pun tak cukup. Jadi, adakah kementerian bersedia untuk menambahkan lagi bilangan staf dan juga bilangan peralatan?
Yang kedua saya nak tanya tentang (BKHT) Bantuan Kerugian Harta dan Tanaman.
Adakah bantuan yang disalurkan ini betul-betul dapat menampung kerugian yang dialami oleh pekebun? Adakah kerajaan bercadang untuk mewujudkan satu dasar menyediakan satu pampasan ataupun geran kepada pekebun yang terkesan? Sekian, terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua
Okey, sila, Menteri.
Dato' Sri Arthur Joseph Kurup
Terima kasih, Ahli Yang Berhormat. Satu soalan yang baik. Yang pertama, kita kena faham kalau kita lihat data-data kebelakangan ini, insiden aduan konflik manusia dan hidupan liar ini semakin meningkat. Ia berdasarkan beberapa faktor seperti pengecilan, pemecahan dan kemerosotan habitat semula jadi akibat aktiviti manusia seperti pembukaan tanah, pembangunan infra dan juga aktiviti pertanian.
Yang kedua juga sumber makanan yang lebih mudah diperolehi untuk gajah yang ditanam oleh manusia sendiri seperti kelapa sawit, pisang, tebu yang menarik gajah keluar daripada habitat asalnya. Jadi, sekiranya ada kita nampak bahawa ada dalam keadaan yang kecemasan khususnya yang melibatkan haiwan-haiwan yang mungkin berbahaya.
Yang pertama, kita kena mengelakkan apa-apa keadaan bentuk provokasi dan mengambil tindakan seperti cubaan menghalau ataupun membunuh hidupan liar tersebut.
Kita mencadangkan supaya kita menghubungi segera jabatan yang berkaitan iaitu PERHILITAN ataupun PDRM supaya kita boleh bawa masuk pegawai-pegawai yang bertanggungjawab untuk membantu kepada keadaan tersebut.
Dan yang ketiga, kerajaan juga telah menyediakan satu bentuk bantuan iaitu BKHT iaitu di mana kita boleh membantu–– BKHT ini adalah satu bentuk bantuan secara one-off untuk memberi pampasan ataupun mengurangkan beban kerosakan harta benda daripada kerosakan seperti tanaman pertanian, harta benda dan sebagainya.
Dan untuk makluman juga kita telah menampak bahawa bantuan BKHT memang telah membantu untuk mengurangkan risiko ataupun kerosakan harta benda dan kerajaan telah menyediakan peruntukan sebanyak RM1.5 juta untuk memastikan bahawa bantuan ini boleh diteruskan lagi pada tahun ini. Jadi, sekiranya ada aduan tersebut kita bagi cadangan supaya berhubung dengan Jabatan PERHILITAN supaya bantuan ini boleh disalurkan kepada golongan yang terjejas. Sekian dan terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua
Baik seterusnya, saya jemput Dato Ir. Haji Yusuf bin Haji Abd Wahab, Tanjong Manis.
Dato Ir. Haji Yusuf bin Haji Abd Wahab - Tanjong Manis
Terima kasih, Tan Sri Yang di-Pertua.
Anak kecil berkawan-kawan, Berkawan-kawan pergi ke kolam; Timbalan Menteri bijak budiman, Soalan Tanjong Manis nombor 6.
6. Dato Ir. Haji Yusuf bin Haji Abd. Wahab [Tanjong Manis] minta Menteri Kerja Raya menyatakan status semakan semula yuran perunding untuk jurutera atau engineers scale of fees. Apakah kadar yuran yang baharu akan dilaksanakan dalam masa yang terdekat dan wajib dipatuhi oleh semua agensi pelaksana untuk projek-projek kerajaan.
Tuan Yang di-Pertua
Okey, sila, Menteri.
Timbalan Menteri Kerja Raya - Datuk Seri Dr. Haji Ahmad bin Haji Maslan
Tan Sri Yang di-Pertua.
Pokok manggis mudah ditanam, Tinggi setanding pepohon ara; Tanjong Manis soalan 6, Yuran perunding jurutera.
[Dewan ketawa]
Timbalan Menteri Kerja Raya - Datuk Seri Dr. Haji Ahmad bin Haji Maslan
Soalan dia tentang yuran perunding jurutera, ya. Okey, Tan Sri Yang di-Pertua, Kementerian Kerja Raya menerusi Lembaga Jurutera Malaysia sedang melaksanakan tindakan proaktif bagi menyemak semula dan meminda skala bayaran jurutera, engineers scale of fees, dengan izin. Langkah semakan secara komprehensif ini penting memandangkan struktur kadar yuran sedia ada telah lama diguna.
Kali terakhir diwartakan 7 Disember 1998 iaitu kira-kira 28 tahun yang lalu. Semakan semula ini bertujuan untuk menyesuaikan kadar yuran dengan realiti ekonomi semasa, kos operasi firma kejuruteraan yang kian meningkat serta menyetarakan imbuhan profesional ini dengan bidang profesional binaan yang lain di negara ini.
Timbalan Menteri Kerja Raya - Datuk Seri Dr. Haji Ahmad bin Haji Maslan
Secara prinsip, pindaan ini menukarkan struktur kadar maksimum lama di bawah peraturan sedia ada menjadi penanda aras kadar minimum yang baharu.
Berdasarkan simulasi teknikal yang telah dijalankan, perubahan ini dianggarkan bakal menyelaras kenaikan yuran perunding sekitar 9.23 peratus bagi sesuatu projek pembangunan fizikal yang melibatkan unjuran kos, contohnya kerja bernilai RM200 juta.
Setakat ini draf akhir pindaan peraturan tersebut telah pun dikemukakan untuk semakan undang-undang dan penelitian oleh Jabatan Peguam Negara sebelum ia boleh diwartakan secara rasmi di bawah Akta Pendaftaran Jurutera 1967.
Menjawab persoalan mengenai aspek pematuhan, suka saya menegaskan Dewan yang mulia ini bahawa sebaik sahaja skala bayaran baru ini diwartakan kelak, ia wajib dipatuhi oleh semua jurutera profesional dan firma perunding kejuruteraan iaitu Engineering Consultancy Practices dengan izin, ECP yang beroperasi dalam sektor awam mahupun sektor swasta di Malaysia.
Pematuhan mandatori ini penting bagi memelihara integriti profesion kejuruteraan, menyekat amalan persaingan harga yang tidak sihat (price cutting) serta memastikan kualiti reka bentuk dan tahap keselamatan infrastruktur yang diserahkan kepada rakyat tidak di kompromi.
Bagi pelaksanaan merentasi projek-projek milik Kerajaan Persekutuan, KKR komited memastikan tiada sebarang kekeliruan atau ketidakseragaman dalam kalangan agensi pelaksana di bawah pelbagai kementerian. Sehubungan itu, Lembaga Jurutera Malaysia telah mengemukakan cadangan rasmi pada 10 Mac 2026 kepada Kementerian Kewangan supaya skala yuran minimum yang baharu ini diselaraskan dan dikuatkuasakan secara berpusat di bawah Pekeliling Perbendaharaan Malaysia iaitu PK 3.2: Kos Perkhidmatan Perunding dan Imbuhan Balik. Terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua
Baik, saya jemput Tanjong Manis.
Tuan Yusuf bin Abd Wahab - Tanjong Manis
Terima kasih, Tan Sri Yang di- Pertua. Terima kasih Timbalan Menteri kerana jawapan yang begitu menggembirakan.
Mudah-mudahan akan tertunailah kelulusan kepada yuran tersebut.
28 tahun adalah satu tempoh yang sangat lama, kami profesi jurutera memang sudah merana. Jika kadar yuran perunding terus tidak mampan, syarikat perunding akan mengecilkan operasi dan kehilangan kepakaran dan mungkin akan berhijrah ke luar negara.
Soalan saya, apakah langkah kerajaan untuk memastikan bahawa Malaysia tidak kekurangan kepakaran kejuruteraan dan apakah unjuran kerajaan sama ada industri perunding kejuruteraan negara mencukupi untuk memastikan pelaksanaan projek-projek kerajaan dalam Rancangan Malaysia Ketiga Belas? Terima kasih, Tan Sri Yang di-Pertua.
Tuan Yang di-Pertua
Sila Menteri.
Datuk Seri Dr. Haji Ahmad bin Haji Maslan
Tan Sri Dr. Yang di-Pertua. Saya ingin memaklumkan bahawa kerajaan komited untuk memastikan yuran perunding kejuruteraan ini akan kita naikkan.
Pada ketika ini, banyak komitmen kepada syarikat-syarikat perunding. Sebagai contoh, mereka kena menggunakan BIM – Building Information Modelling dan mereka kena mematuhi ESG – Enviromental, Social and Governance. Itu antara perkara-perkara yang ingin dipatuhi dan oleh itu, kadar fi itu perlu mencerminkan realiti pasaran semasa.
Pada saat dan ketika ini Tan Sri, ada 230,040 orang jurutera siswazah. Yang ini untuk menjawab soalan adakah mencukupi. Teknologi kejuruteraan 19,750. Pemeriksa tapak 8,484. Jurutera profesional, yang ini ada Ir. nama di hadapan mereka itu 9,857. Jurutera profesional dengan perakuan amalan, yang boleh cop lulus 8,649. Pemeriksa bertauliah 29.
Jumlah orang yang berdaftar dalam profesional ini 276,809 dan kita anggap ia mencukupi.
Tetapi, kalau kadar finya tidak setara, kita khuatir pada masa akan datang, dia akan memudaratkan tentang jurutera binaan ini. Terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua
Saya jemput Kapar.
Dr. Hajah Halimah Ali - Kapar
Terima kasih, Tan Sri Speaker. Adakah kementerian mempunyai data yang menunjukkan kadar yuran perunding yang rendah sebelum ini menjadi antara faktor kelemahan reka bentuk, variasi kerja (VO) atau kelewatan projek kerajaan dan juga, saya dengar tadi 9.3 peratus yang disebutkan oleh Timbalan Menteri tadi.
Saya nak tahu, berapakah anggaran implikasi kewangan kepada projek-projek kerajaan selepas kadar yang yuran baru ini secara overall yang melibatkan semua projek- projek kerajaan dan adakah kementerian telah menjalankan analisis kos manfaat bagi membuktikan bahawa peningkatan yuran ini akan menghasilkan nilai yang lebih baik, value for money kepada kerajaan, bukan semata-mata meningkatkan kos pembinaan yang ditanggungkan oleh kerajaan dan akhirnya rakyat. Terima kasih Speaker.
Tuan Yang di-Pertua
Sila Menteri.
Datuk Seri Dr. Haji Ahmad bin Haji Maslan
Semua dah difikir, Yang Berhormat.
Kalau tak difikir, saya pun malas nak menjawab soalan ini. Jadi, itu sajalah. Tetapi takkanlah menjawab sebegitu pendek.
Beberapa Ahli
[Ketawa]
Datuk Seri Dr. Haji Ahmad bin Haji Maslan
Sebagai contoh, 9.23 peratus ini nampak macam besar. Contoh kiraan, 1998 skala bayarannya kalau RM200 juta, kadar bayaran minima 1998 itu didarab 3.25 peratus. 3.25 peratus, itu kadar minima 1998.
Jumlahnya RM6.5 juta. Daripada RM200 juta, RM 6.5 juta saja yuran minimum perunding.
Tetapi, apabila kita tukar dan kita naikkan yuran perunding ini daripada 3.25 peratus kepada 3.55 peratus, pindaan kadar bayaran minima baharu daripada 3.25 kepada 3.55 didarab RM200 juta, maka kadar bayaran yuran perunding yang baharu ialah RM7.1 juta.
Daripada RM6.5 juta kepada RM 7.1 juta itu, 9.23 peratus itu maksudnya, dan saya kira dia tidak akan membebankan mana-mana pihak dengan kenaikan kadar ini dan kita berharap setelah beberapa banyak kali dan setelah begitu lama menunggu, kemungkinan kadar yuran ini boleh dilaksanakan pada bulan September 2026. Terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua
Baik, seterusnya saya jemput Dr. Ahmad Fakhruddin bin Fakhrurazi, Kuala Kedah.
Dr. Ahmad Fakhruddin bin Fakhrurazi - Kuala Kedah
Terima kasih Tan Sri Yang di-Pertua. Assalamualaikum dan salam sejahtera. Soalan saya nombor 7.
7. Dr. Ahmad Fakhruddin bin Fakhrurazi [Kuala Kedah] minta Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya menyatakan sejauh mana konflik di Asia Barat memberi kesan kepada jumlah kedatangan pelancong asing ke Malaysia khususnya dari pasaran Timur Tengah, Eropah dan Asia Barat serta apakah strategi kerajaan bagi mengekalkan momentum pertumbuhan sektor pelancongan?
Tuan Yang di-Pertua
Sila Menteri.
Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya - Tuan Chiew Choon Man
Terima kasih atas soalan yang diberikan. Tuan Yang di-Pertua, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) memandang serius dan amat prihatin terhadap gangguan perjalanan global serta ketegangan geopolitik di Asia Barat.
Namun, hasil usaha berterusan MOTAC bersama agensi-agensinya, sektor pelancongan negara masih menunjukkan prestasi yang positif. Bagi tempoh Januari hingga Mei 2026, Malaysia telah merekodkan 17.5 juta ketibaan pelawat antarabangsa meningkat 3.4 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun 2025.
Bagi mengekalkan momentum pertumbuhan ini, MOTAC bersama agensinya telah melaksanakan pelbagai langkah strategik. Antaranya yang pertama, cadangan melanjutkan Kempen Melawat Malaysia sehingga ke tahun 2027 bagi mengoptimumkan promosi pelancongan lestari dan bernilai tinggi melalui tiga strategi teras iaitu mewujudkan permintaan, meningkatkan trafik pelawat dan memfokuskan kepada pasaran sasaran berpotensi tinggi.
Kedua, memperkukuh usaha promosi tourism Malaysia di pasaran yang lebih stabil dan berpotensi tinggi seperti ASEAN, Asia Timur, Asia Selatan, Asia Tengah, Eropah, Afrika Utara dan Australia.
Ketiga, menarik lebih banyak penganjuran acara dan perniagaan antarabangsa melalui Malaysia Convention & Exhibition Bureau (MyCEB) dengan menampilkan Malaysia sebagai destinasi yang selamat, stabil dan bernilai tinggi.
Keempat, mempertingkatkan promosi pelancongan premium dan mesra Muslim melalui Islamic Tourism Centre (ITC) bagi menarik lebih ramai pelancong berkualiti dan berbelanja tinggi.
Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya - Tuan Chiew Choon Man
Kelima, memperluaskan jaringan ketersambungan udara negara, termasuk pembukaan dan penambahan laluan penerbangan baharu bagi meningkatkan aksesibiliti dan ketibaan pelawat dan— Keenam, mempergiatkan pembangunan dan promosi pelancongan kapal persiaran, dengan izin cruise tourism bagi meningkatkan ketibaan pelawat antarabangsa, memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab persiaran serantau serta menjana impak ekonomi kepada destinasi tempatan.
Kementerian ini akan terus menjalinkan kerjasama erat bersama kementerian dan agensi lain, termasuklah pemain industri pelancongan bagi menangani cabaran akibat krisis geopolitik ini dan mengekalkan momentum pertumbuhan sektor pelancongan negara.
Sekian, terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua
Baik, saya jemput Kuala Kedah.
Dr. Ahmad Fakhruddin bin Fakhrurazi - Kuala Kedah
Terima kasih Tan Sri Yang di-Pertua. Terima kasih Yang Berhormat Timbalan Menteri yang telah pun memberikan jawapan secara terperinci.
Soalan tambahan saya, bolehkah Menteri menyatakan pelan kontingensi pasaran, market contingency plan, dengan izin, Tourism Malaysia dalam mengalih fokus promosi ke pasaran alternatif yang lebih stabil seperti negara-negara di Asia Timur, Asia Selatan dan rantau ASEAN bagi menampung unjuran penurunan pelancong dari kawasan berkonflik, memandangkan tahun ini adalah Tahun Melawat Malaysia (VM2026) yang meletakkan sasaran kedatangan 47 juta pelancong antarabangsa dengan anggaran pendapatan RM329 bilion? Sekian, terima kasih Tan Sri.
Tuan Yang di-Pertua
Baik. Sila Menteri.
Tuan Chiew Choon Man
Terima kasih atas soalan tambahan tersebut. Kementerian ini MOTAC telah melalui Tourism Malaysia menjalankan penyasaran semula pasaran sebagai langkah proaktif untuk kita menghadapi kesan terhadap krisis-krisis Asia Barat.
Dato’ Mohd Isam bin Mohd Isa - Tampin
[Bangun]
Dato' Muhammad Bakhtiar bin Wan Chik - Balik Pulau
[Bangun]
Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie bin Apdal - Semporna
[Bangun]
Tuan Chiew Choon Man
So, antara fokus yang telah diberikan adalah pasaran- pasaran seperti yang pasaran yang lebih stabil dan mempunyai nilai potensi yang lebih tinggi seperti ASEAN, Asia Timur, Asia Selatan, Asia Tengah, Eropah, Afrika Utara dan Ausonia dan juga bandar-bandar dikatakan tier 2 dan *tier 3.
So*, selain daripada bandar utama negara-negara mereka, kita juga akan menyasarkan terhadap bandar-bandar tier kedua dan ketiga mereka. Dan sesungguhnya pendekatan ini dapat menggantikan kehilangan pelawat dari Asia Barat dan juga akan terus berpotensi untuk meningkatkan tempoh penginapan dan perbelanjaan pelawat di Malaysia.
Dan keberkesanan pendekatan ini telah disokong oleh prestasi semasa dengan dalam tempoh Januari hingga Mei 2026, ketibaan pelawat dari Asia Pasifik telah meningkat sebanyak 3.5 peratus kepada 16.2 juta yang seterusnya akan membantu untuk mengimbangi sebahagian kehilangan pelawat dari pasaran terjejas, khususnya Asia Barat. Terima kasih.
Tuan Ir. Ts. Zahir bin Hassan - Wangsa Maju
[Bangun]
Tuan Yang di-Pertua
Baik. Saya jemput Semporna.
Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie bin Apdal - Semporna
Terima kasih Tan Sri Yang di-Pertua. Terima kasih Yang Berhormat Timbalan Menteri yang telah menjelaskan usaha untuk meningkatkan pelancong datang dalam negara kita dan kita sedar dan tahu externality seperti apa yang berlaku di Timur Tengah. It’s beyond our control. Tapi kita juga berusaha untuk meningkatkan pelancong datang daripada— sama ada negara-negara luar.
Cuma saya sedar dan tahu, saya ingin bertanya kepada Yang Berhormat, langkah- langkah untuk meningkatkan domestik tourism yang ada? Kerana kita tidak boleh bergantung dengan hanya datangnya daripada luar tapi dalam negara kita.
Tuan Syed Saddiq bin Syed Abdul Rahman - Muar
[Bangun]
Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie bin Apdal - Semporna
Ya, kita sedar dan tahu bahawa ini salah satu langkah yang perlu diambil oleh pihak kerajaan dan di samping itu juga, saya ingin bertanya. Peningkatan pelancong dalam negara tapi juga dari segi within our control cukai yang dikenakan kepada resource— resource yang ada ini untuk tidak membebankan pihak sektor pelancongan yang ada.
Kadang, pintu ya— cukai pintu yang dikenakan agak meningkat, macam di kawasan saya sendiri. Setiap pintu, setiap bilik yang ada, about RM70 ya. Sama ada datang, tak datang dan ini membabitkan bukan hanya Kerajaan Persekutuan. Saya ada maklum dengan Menteri Pelancongan.
They must be proper coordination, Federal and state untuk tidak membebankan pihak pengusaha tempatan yang ada. Kadang-kadang tidak ada pelancong pun, pintu kena dicukai.
Kadang-kadang pelancong pun, kadar dia di Semporna banding dengan Kota Kinabalu, jauh tinggi Semporna. Kerana mungkin kita pelancong banyak sangat, RM73, RM100 satu pintu yang ada.
Adakah pihak kerajaan boleh mengurangkan, satu, reduce the rate of yang cukai pintu yang ada dalam negara kita bila pelancong-pelancong sama ada dari luar ataupun dalam negara ataupun dalam keadaan yang kita sebut beyond our control tapi ini beyond kita punya control, sama ada kita tangguhkan cukai pintu ini.
Saya tahu ini Majlis Daerah mungkin, taman-taman Sabah contoh mungkin memungut cukainya. Bolehkah dalam keadaan tertentu untuk satu, wipeout sementara dua, tiga, empat bulan ataupun enam bulan ataupun kurangkan kadar cukai pintu untuk tidak membebankan, kerana kurangnya datang pelancong yang datang itu? Terima kasih banyak.
Tuan Yang di-Pertua
Baik. Sila Menteri.
Tuan Chiew Choon Man
Terima kasih atas pandangan yang diberikan oleh Yang Berhormat Semporna. Sesungguhnya, pelancongan domestik merupakan tulang belakang kepada sektor pelancongan negara dan di peringkat MOTAC sebagai usaha untuk kita terus mengekalkan momentum pertubuhan sektor pelancongan, khususnya untuk pelancongan domestik.
Tourism Malaysia di bawah MOTAC telah melaksanakan inisiatif-inisiatif seperti inisiatif pemerkasaan pelancongan domestik yang melalui tema, “Jom Cuti-Cuti Malaysia", “Destinasi Indah, Harga Rahmah” yang merupakan satu Kempen Cuti-Cuti Malaysia dan bertujuan untuk menggalakkan rakyat Malaysia untuk terus melancong dalam negara melalui penawaran harga pakej pelancongan, penginapan dan aktiviti pelancongan yang berpatutan dan mampu milik.
Dan inisiatif ini telah dijalankan melalui kerjasama dengan pemain industri, seperti pemunya produk, hotel serta syarikat penerbangan. Dan antara program yang dilancarkan ialah kerjasama promosi dengan rangkaian hotel seperti Dorsett group melalui 13 buah hotel.
Dan selain itu, kempen teknikal juga bakal kita jalankan dengan syarikat penerbangan seperti Batik Air pada Jun dan Julai 2026. Dan kerjasama ini bertujuan untuk terus merangsangkan perjalanan dalam negara serta meningkatkan daya tahan industri pelancongan.
Berkenaan dengan permintaan dari Yang Berhormat Semporna, nanti kita boleh bincangkan. Kemudian, kerana ada yang di antaranya melibatkan bidang kuasa di luar MOTAC dan kita berjumpa lagi. Sebab saya pun suka sangat dengan kerajaan Semporna nanti. Okey.
Tuan Yang di-Pertua
Baik.
Tuan Syed Saddiq bin Syed Abdul Rahman - Muar
Tan Sri.
Tuan Yang di-Pertua
Saya jemput Datuk Willie anak Mongin, Puncak Borneo.
Datuk Willie anak Mongin - Puncak Borneo
Soalan saya nombor 8.
Tuan Yang di-Pertua
Silakan Menteri.
8. Datuk Willie anak Mongin [Puncak Borneo] minta Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan menyatakan jumlah rumah mampu milik yang masih belum terjual mengikut negeri dan kategori harga serta kadar sebenar pemilikan rumah dalam kalangan golongan muda berumur bawah 35 tahun mengikut negeri dan kawasan Parlimen.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan - Datuk Hajah Aiman Athirah binti Sabu
Bismillah. Alhamdulillah. Tuan Yang di-Pertua, untuk makluman Tuan Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat, Kerajaan MADANI sentiasa komited memastikan setiap daripada rakyat kita mempunyai akses kepada kediaman yang berkualiti, selamat dan mampu dimiliki.
Sehubungan dengan itu, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan terus mengukuhkan perancangan dan penyelarasan sektor perumahan bagi menangani isu ketidakpadanan antara penawaran dan juga permintaan perumahan, termasuklah fenomena kediaman siap dibina tetapi tidak terjual serta cabaran pemilikan rumah dalam kalangan rakyat.
Berdasarkan laporan rasmi yang dikeluarkan oleh Pusat Maklumat Harta Negara ataupun National Property Information Centre (NAPIC) bagi suku pertama tahun 2026, jumlah unit kediaman siap dibina tetapi masih belum terjual direkodkan sebanyak 32,800 unit dengan nilai keseluruhan berjumlah RM16.37 bilion. Dan pada jumlah tersebut Tuan Yang di-Pertua, sebanyak 15,400 unit ataupun bersamaan dengan 46.9 peratus adalah terdiri daripada kediaman rumah yang berharga RM300,000 dan ke bawah.
Ini menunjukkan sejumlah 53.1 peratus adalah masih tertumpu pada rumah yang pada kategori harga rumah melebihi RM300,000. Dan pada secara sekali gus juga Tuan Yang di-Pertua, itu juga menunjukkan bahawa bukan hanya kediaman yang tidak terjual ini, bukan hanya melibatkan rumah mampu milik tetapi turut dipengaruhi oleh ketidakpadanan penawaran dan juga permintaan dalam pelbagai segmen pasaran perumahan.
Berhubung dengan soalan, pertanyaan Ahli Yang Berhormat mengenai kadar pemilikan rumah dalam kalangan golongan berusia muda ataupun 35 tahun dan ke bawah saya ingin memaklumkan kepada Ahli Yang Berhormat. Data khusus yang diminta oleh Ahli Yang Berhormat itu tidak tersedia pada masa ini kerana statistik pemilikan rumah yang diterbitkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melalui survei pendapatan dan juga perbelanjaan isi rumah, ia adalah disusun mengikut kumpulan berpendapatan berapa dan juga lokaliti dan bukannya mengikut kumpulan umur dan juga kawasan Parlimen.
Berdasarkan data yang sedia ada ini years, tahun 2024 kadar pemilikan rumah mengikut kumpulan desil pendapatan telah pun ditetapkan.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan - Datuk Hajah Aiman Athirah binti Sabu
Desil pendapatan ini Ahli Yang Berhormat, adalah pengelasan isi rumah kepada sepuluh kumpulan berdasarkan pendapatan, di mana D1 mewakili pendapatan yang paling rendah, D10 adalah pendapatan yang paling tinggi. Secara umumnya, D1 hingga D4 iaitu yang berpendapatan rendah, D5 hingga D8 adalah yang berpendapatan sederhana dan D9 hingga D10 adalah yang berpendapatan tinggi.
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, kadar pemilikan rumah bagi rumah berpendapatan rendah ataupun kumpulan Desil 1 hingga Desil 4 di Malaysia ini adalah sekitar 76.3 peratus. Kementerian menyedari cabaran pemilikan rumah dalam kalangan belia dan juga pembeli rumah pertama memerlukan pendekatan yang lebih menyeluruh, holistik.
Sehubungan dengan itu, kementerian sedang memperkukuhkan pembangunan repositori data perumahan bersepadu di peringkat nasional bagi menyokong perancangan dan penggubalan dasar yang lebih tepat berdasarkan data. Dan ini juga termasuk juga kepada usia golongan muda dan keseluruhannya dan ini juga merupakan inisiatif kita di peringkat Rancangan Malaysia Ketiga Belas.
Dan kementerian insya-Allah akan terus giat melaksanakan pelbagai inisiatif bagi meningkatkan akses rumah, khususnya di kalangan generasi muda kepada rumah mampu milik. Dan juga melalui Dasar Perumahan Negara, kita sedang memuktamadkan dasar ini di mana kerajaan akan memberikan penekanan kepada satunya penyediaan perumahan yang lebih responsif kepada keperluan rakyat.
Keduanya adalah mengukuhkan ekosistem pembiayaan perumahan supaya setiap daripada rakyat kita boleh akses kepada pembiayaan perumahan.
Dan ketiganya pemantapan data perumahan bersepadu dan yang keempatnya adalah pengurangan ketidakpadanan antara penawaran dan permintaan di peringkat pasaran. Tuan Yang di-Pertua, terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua
Baik, saya jemput Puncak Borneo.
Datuk Willie anak Mongin - Puncak Borneo
Terima kasih YB Timbalan Menteri.
Daripada apa yang saya dengar tadi, masih banyak gap yang ada untuk para belia dan rakyat Malaysia untuk memiliki rumah. Jadi, saya harap kerajaan dapat melakukan sesuatu. Tetapi saya juga ingin bertanya, memandangkan kos pembinaan dan harga bahan binaan di seluruh negara telah meningkat lebih kurang dalam 30 peratus, jadi adakah kementerian bersedia untuk menyemak semula harga siling rumah yang mampu milik serta memperkenalkan mekanisme untuk pembiayaan khas bagi memastikan lebih ramai golongan muda khasnya di Sarawak mampu memiliki rumah.
Dan saya juga ingin tahu, berapa banyak kah rumah mesra rakyat ataupun RMR yang telah dibina di Parlimen Puncak Borneo sejak tahun 2018 sehingga terkini dan berapakah permohonan yang masih belum diluluskan setakat ini? Terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua
Baik, sila Menteri.
Tuan Syed Saddiq bin Syed Abdul Rahman - Muar
[Bangun]
Datuk Hajah Aiman Athirah binti Sabu
Tuan Yang di-Pertua, sememangnya kerajaan mengambil maklum bahawa kos pembinaan dan juga harga bahan binaan perumahan ini telah pun meningkat daripada masa ke semasa.
Tuan Wan Razali bin Wan Nor - Kuantan
[Bangun] .
Datuk Hajah Aiman Athirah binti Sabu
Walau bagaimanapun, apa yang dicadangkan oleh Ahli Yang Berhormat tadi tentang penetapan harga rumah mampu milik, tidaklah kita boleh buat semata-mata berdasarkan kepada kos pembinaan semata-mata.
Sebaliknya ia juga perlu mengambil kira keseimbangan di antara kemampuan rakyat untuk memiliki rumah dan pada masa yang sama kemampanan pembangunan oleh pemaju.
Datuk Suhaimi bin Nasir - Libaran
[Bangun]
Datuk Hajah Aiman Athirah binti Sabu
Sehubungan dengan itu, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan telah pun melaksanakan pemetaan rumah mampu milik dengan menggunakan data pendapatan median isi rumah mengikut negeri dan juga daerah berdasarkan survey pendapatan isi rumah dan kemudahan asas tahun 2024 yang telah pun diterbitkan oleh DOSM. Dan pemetaan ini menggunakan kaedah median multiple yang memberikan, menentukan julat harga rumah yang benar-benar mampu dimiliki mengikut kemampuan penduduk satu-satu locality.
Adapun yang ditanyakan oleh Ahli Yang Berhormat tentang akses pembiayaan kepada golongan muda ini pun kita telah pun banyak kali menjawab di sini. Kita ada skim jaminan kredit perumahan, skim step-up financing. Dan seterusnya yang ditanyakan oleh Yang Berhormat berkaitan dengan rumah mesra rakyat di peringkat Puncak Borneo, saya kira Tuan Yang di-Pertua, saya akan memberikan jawapan itu secara bertulis kepada Ahli Yang Berhormat supaya boleh dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Tuan Yang di-Pertua
Baik, saya jemput Muar.
Tuan Syed Saddiq bin Syed Abdul Rahman - Muar
Terima kasih Tan Sri Speaker.
Walaupun di atas kertas kadar pemilikan rumah rakyat Malaysia agak tinggi jika nak dibandingkan dengan rakan-rakan di benua kita, kita dalam 78 peratus. Tetapi kalau kita lihat angka tersebut di kalangan anak muda bawah berumur 35 peratus, that number is halved. Daripada 78 peratus rakyat Malaysia memiliki rumah, bawah umur 35 tahun hanya kadar pemilikan dalam 34 peratus. Itu sangat mencemaskan.
Dan kalau kita lihat daripada sudut harga rumah mampu milik, kalau kita lihat di peringkat global dia perlu tiga kali ganda pendapatan tahunan tetapi di Malaysia pada tahun 2024 dia telah mencecah 4.2 kali ganda daripada pendapatan tahunan.
Persoalan saya, kalau kita ingin meninggalkan Malaysia lebih baik, kita patut memastikan anak muda boleh mewarisi pemilikan rumah dengan lebih baik. Bukan ibu bapa pada generasi mereka mampu membeli rumah, memiliki rumah apabila mereka muda tetapi anak muda pada hari ini tidak mampu lagi. Apa solusi kerajaan untuk menyelesaikan kadar pemilikan rumah bagi anak muda, bukan purata nasional. Terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua
Baik, Menteri.
Datuk Hajah Aiman Athirah binti Sabu
Tuan Yang di-Pertua. Yang disebutkan oleh Yang Berhormat Muar tadi berkaitan 34.56 peratus kelulusan peminjaman daripada kalangan belia. Saya nak sebutkan gini Tuan Yang di-Pertua, kalau kita lihat daripada data yang kita dapat melalui kelulusan daripada SJKP contohnya, keutamaan untuk kita berikan kepada pembiayaan perumahan adalah kepada golongan muda iaitu kalau kita lihat daripada umur 35 tahun dan ke bawah, daripada SJKP ini sahaja mengambil jumlah keseluruhan 75.7 peratus.
Maknanya apa Tuan Yang di-Pertua? Memanglah kerajaan ini memberikan tumpuan kepada membantu kelompok belia untuk memiliki rumah pertama mereka. Kalau kita tidak percaya kepada angka ini, apa lagi yang kita perlu percaya?
Dan kalau ditanya tadi berkaitan dengan apakah strategi-strategi kerajaan dalam memastikan supaya belia kita boleh memiliki rumah, ada banyak yang kita telah― dan saya kira ada di Dewan Yang Mulia ini, saya telah pun menyebutkan berulang kali dan dia tidak pernah terbatal cadangan-cadangan kita, termasuklah step-up financing, termasuklah SJKP.
Dan saya kira Ahli Yang Berhormat Muar, mungkin kita boleh duduk bersama supaya kita boleh melihat betapa seriusnya Kerajaan MADANI ini untuk membantu belia kita memiliki rumah dan tidak ada siapa yang akan tertinggal, insya-Allah. Terima kasih Tuan Yang di- Pertua.
Tuan Yang di-Pertua
Baik, seterusnya saya jemput Tuan Ahmad Tarmizi bin Sulaiman, Sik.
Tuan Ahmad Tarmizi bin Sulaiman - Sik
Assalamualaikum warahmatullah. Terima kasih Tan Sri Tuan Yang di-Pertua. Soalan saya nombor 9.
9. Tuan Ahmad Tarmizi bin Sulaiman [Sik] minta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri menyatakan strategi khusus kerajaan bagi memastikan limpahan ekonomi daripada pembangunan industri berteknologi tinggi di wilayah utara turut memberi manfaat kepada daerah luar bandar seperti Sik, Baling dan Padang Terap melalui peluang pekerjaan berpendapatan tinggi serta pembangunan vendor tempatan.
Tuan Yang di-Pertua
Silakan Menteri.
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri - Tuan Sim Tze Tzin
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, terima kasih sahabat saya dari Sik.
Kerajaan sentiasa komited untuk memperkukuh pembangunan ekonomi dan perindustrian secara menyeluruh di Wilayah Utara bagi memastikan limpahan ekonomi daripada industri berteknologi tinggi turut dinikmati secara inklusif oleh penduduk di kawasan luar bandar, termasuk di Daerah Sik, Baling dan Padang Terap.
Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 yang mana inclusivity diletakkan sebagai tonggak utama menerusi Misi 4 iaitu memastikan hasil kemakmuran industri dirasai secara saksama di seluruh negara dengan memberi tumpuan kepada usaha merapatkan jurang ekonomi melalui pembangunan wilayah yang seimbang, pemerkasaan perindustrian kecil dan sederhana (PKS) tempatan ke rantaian bekalan global serta peningkatan penyertaan bumiputera dan wanita dalam sektor pembuatan.
Jadi, untuk menjawab soalan secara spesifik kepada Yang Berhormat Sik, kerajaan memanfaatkan pembangunan kawasan perindustrian utama di Wilayah Utara untuk memberi kesan limpahan ekonomi kepada daerah sekitar. Contohnya pembangunan Taman Teknologi Tinggi Kulim (Kulim Hi-Tech Park), Padang Meiha dan Karangan dan Kedah Rubber City dan juga Kerian Integrated Green Industrial Park kini bertindak sebagai pemacu utama yang memberi peluang pekerjaan kepada penduduk dari daerah berhampiran seperti Baling dan Sik.
Contohnya ya YB, Kedah Rubber City satu jam daripada Baling dan Kulim Hi-Tech Park pun satu jam daripada Baling juga. Jadi, Baling adalah satu tempat yang strategik, di mana bakal akan mendapat limpahan daripada pembangunan taman perindustrian di Kulim Hi-Tech Park dan juga Kedah Rubber City. Contohnya saya bagi di Kulim Hi-Tech Park ini syarikat yang besar seperti ATNS ya, telah melabur RM6 bilion tambah RM3 bilion lagi dan mencipta ribuan pekerjaan yang berkualiti tinggi.
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri - Tuan Sim Tze Tzin
Infineon the world largest silicon carbide semiconductor wafer fab telah melaburkan bilion Ringgit untuk membuka kilang di Kulim Hi-Tech Park.
Di Kedah Rubber City pula, satu projek yang besar iaitu pembuatan tayar yang bakal melabur RM2.6 bilion dalam 15 tahun yang menyasarkan 14,500 pekerjaan, peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.
Jadi, semua ini dia akan mempunyai limpahan yang sangat-sangat besar kepada daerah luar bandar termasuk Sik dan juga Padang Terap dan di sekitarnya. Sebagai maklumat tambahan juga, bukti bagi tempoh Januari hingga Mac 2026, wilayah utara telah merekodkan pelaburan diluluskan berjumlah RM9.4 bilion, melibatkan 295 projek merentasi sektor perkilangan, perkhidmatan dan sektor utama dan berpotensi mewujudkan 10,966 peluang pekerjaan baharu.
Daripada jumlah ini, negeri Kedah berjaya menarik RM1.4 bilion iaitu 50 projek, di mana kaedah— di Daerah Baling merekodkan pelaburan kedua tertinggi di Kedah iaitu sebanyak RM265.3 juta.
Jadi, strategi kerajaan adalah rising tide lifts all boats. Maksudnya apabila kita menarik pelaburan, rising tide, maksudnya ramai pelabur masuk, dia akan membawa pembangunan kepada semua tempat, termasuk kawasan Baling, Kedah. Terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua
Baik, saya jemput YB Sik.
Tuan Ahmad Tarmizi bin Sulaiman - Sik
Ya, terima kasih Tan Sri Yang di-Pertua.
Terima kasih Yang Berhormat Timbalan Menteri. Soalan yang diberikan itu yang sudah pasti jawapannya saya sudah jangkakan. Cuma yang saya ingin lontarkan soalan tambahan ini, bagaimana pihak kementerian melihat soal projek-projek atau pun kawasan-kawasan perindustrian ini bukan hanya dikhususkan di area— area yang telah pun di khusus seperti Kulim Hi-Tech Park dan sebagainya?
Jadi, bagaimana untuk dilebarkan lagi khusus di daerah-daerah yang disebut tadi, Sik, Baling dan sebagainya? Ketika mana kita mengetahui daerah-daerah ini berpotensi besar dalam perindustrian pertanian moden, contohnya pemprosesan makanan, biojisim, tenaga hijau, yang sudah pastilah limpahan itu boleh mengukuhkan lagi kawasan-kawasan pedalaman ini untuk menghasilkan peluang-peluang pekerjaan yang baru dan juga kawasan perindustrian itu sendiri. Dan bagaimanakah kementerian melihat bahawa perlu ada satu sasaran yang— kuota pelaburan itu juga dilebarkan di daerah-daerah pedalaman ini? Terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua
Silakan Menteri.
Tuan Sim Tze Tzin
Terima kasih Yang Berhormat Sik.
Dato’ Haji Adnan bin Haji Abu Hassan - Kuala Pilah
[Bangun]
Tuan Sim Tze Tzin
Sememangnya saya setuju dengan Sik bahawa sebenarnya kawasan-kawasan seperti Baling, Sik dan sebagainya sememangnya comparative advantage di kawasan ini adalah dari segi pemprosesan makanan, dari segi agro industry dan juga agro- based industry. Di mana ini adalah tempat-tempat yang memang strategic ya.
Sebab kita semua perlukan makanan dan industri-industri agro-based termasuk pemprosesan makanan, agro-based industry, semua ini adalah tumpuan di bawah Kementerian MITI juga. Sebab ini antara 24 sektor utama yang merupakan sektor tumpuan untuk MITI.
Jadi, dari segi ini, kerajaan telah meluluskan satu berita baik iaitu kerajaan telah meluluskan projek pelebaran jalan federal road 4 (FT004) daripada dua lorong kepada empat lorong, daripada persimpangan KHTP ke persimpangan Bukit Karangan yang telah bermula pada Julai 2022 dan dijangka siap pada April 2028 bagi memudahkan akses penduduk sekitar Daerah Baling ke KHTP.
Kerajaan juga sedang merancang cadangan pelaburan, cadangan Lebuhraya Koridor Utara (NCH) demi memperkukuhkan daya saing ekonomi wilayah dan jangka panjang. Ini bermaksud apabila infra ini semua siap, dia akan semestinya akan membantu membawa limpahan industri ke Baling. Dalam pada masa yang sama, industri pemprosesan makanan dan juga agro-based industry, dia juga akan senang akses kepada market yang sememangnya memerlukan makanan.
Jadi, saya rasa ini adalah bukti bahawa kerajaan tidak meminggirkan mana-mana kawasan dan sememangnya strategi kerajaan adalah rising tide lift all boats, terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua
Baik, saya jemput Kuala Pilah.
Dato’ Haji Adnan bin Haji Abu Hassan - Kuala Pilah
Terima kasih Yang Berhormat Tan Sri Speaker. Jika soalan asal Sik tadi bertanyakan akan limpahan spillover effect, pembangunan wilayah, koridor wilayah ini pada kawasan luar bandar. Soalan Kuala Pilah ialah secara umumnya, apakah langkah kementerian untuk memastikan pelaburan dalam industri berteknologi tinggi ini benar-benar membawa pemindahan teknologi, pembangunan rantaian bekalan tempatan dan peningkatan keupayaan syarikat tempatan, bukan sekadar mewujudkan peluang-peluang pekerjaan?
Dan apakan strategi kementerian untuk memastikan pembangunan industri berteknologi tinggi ini disokong oleh tenaga kerja tempatan yang berkemahiran tinggi termasuk melalui kerjasama dengan institusi TVET dan pendidikan tinggi bagi memenuhi keperluan industri pada masa hadapan? Terima kasih.
Tuan Sim Tze Tzin
Terima kasih rakan saya daripada Kuala Pilah. Itu soalan yang sangat baik ya. Saya nampak bahawa kita semua di sini, kita semua ingin sesuatu yang lebih baik untuk negara kita. Jadi, MITI ini memikul tanggungjawab untuk memastikan bahawa limpahan, pelaburan, pemindahan teknologi dan juga dia memanfaatkan tenaga pekerja di negara kita.
Saya bagi contoh ya. Apabila kita— industri dia melabur di Malaysia, sekarang kita ada new incentive framework (NIF). New incentive framework ini dia bermula pada tahun— Mac 2026, di mana dia ada banyak kriteria. Antaranya kalau the more localization maka the more incentive kerajaan memberi mereka.
Jadi, apabila pelabur, dia datang, apabila dia menggunakan vendor tempatan dia menggunakan supporting services dan juga barang-barang buatan tempatan tu sebagai part of their supply chain, maka dia dapat insentif.
Jadi, inilah kita menyalurkan pelaburan ini kepada tempatan— kepada vendor tempatan dan syarikat tempatan. Dan juga dari segi tenaga pekerja TVET ini, kita sekarang menggalakkan sebenarnya, sebenarnya semua kilang yang saya lawati, mereka semua meminta supaya kerajaan lebih menumpukan kepada pekerja TVET dan mereka sememangnya memerlukan engineer, technician yang berkemahiran tinggi dan saya rasa ini adalah peluang sangat baik sebab kita nampak bahawa sekarang ya, ada baru-baru ini ada satu berita, di mana satu syarikat di Melaka. Mereka sanggup menawarkan RM3,500 sebagai starting pay. Jadi, ribuan orang beratur untuk mendapatkan, untuk memohon pekerjaan di syarikat itu. Jadi, ini menunjukkan bahawa sememangnya gaji sedang naik kerana peluang pekerjaan banyak kerana usaha PMX. Usaha untuk membawa pergi serata dunia membawa pelancong, pelaburan masuk ke Malaysia dan sekarang sudah menunjukkan, membuktikan bahawa kejayaan beliau tersebut yang telah meningkatkan peluang pekerjaan yang begitu ramai dan peluang pekerjaan berkualiti, starting pay RM3,500.
Jadi, inilah kejayaan kita dan ini akan sememangnya akan membantu anak-anak muda kita mendapat pekerjaan yang lebih berkualiti. Terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua
Baik. Yang Berhormat, sekarang tamatlah sesi untuk waktu Pertanyaan-pertanyaan bagi Jawab Lisan.
[Sesi Pertanyaan-pertanyaan bagi Jawab Lisan tamat]
Tuan Yang di-Pertua
Baik, saya jemput Menteri Ekonomi untuk memberi penerangan mengenai langkah kerajaan menangani krisis bekalan global demi memastikan ekonomi Malaysia berdaya tahan. Silakan Yang Berhormat.
Menteri Ekonomi - Tuan Haji Akmal Nasrullah bin Mohd Nasir
Terima kasih Tan Sri Yang di-Pertua. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.
Terima kasih juga kepada semua Ahli-ahli Parlimen yang berada dalam Dewan untuk sesi penerangan mengenai krisis bekalan global pada pagi ini.
[Timbalan Yang di-Pertua (Dato' Dr. Ramli bin Dato' Mohd Nor) **mempengerusikan Mesyuarat****] Tan Sri Yang di-Pertua, konflik antara Amerika Syarikat dan Iran yang mana sejak 27 Februari 2026 telah mencetuskan ketidaktentuan kepada rantaian bekalan global. Isu ini bukan sekadar berkaitan harga minyak dunia, ia turut memberi kesan kepada rantaian perdagangan global, antaranya kos logistik, bekalan input pengeluaran industri, harga makanan, tekanan inflasi, keyakinan pelabur dan juga kelangsungan perniagaan.
Kerajaan memahami keresahan rakyat terhadap tekanan kenaikan harga barang dan kos sara hidup harian. Kebimbangan ini adalah nyata dan wajar diberi perhatian serius.
Sehubungan dengan itu, dalam tempoh 100 hari pertama sejak konflik bermula, keutamaan kerajaan adalah untuk menyerap kesan awal krisis bekalan global ini agar ia tidak dibebankan secara keseluruhan terhadap rakyat yang terpaksa menghadapi tekanan kenaikan kos yang berlaku.
Kerajaan telah memperkukuh tadbir urus krisis melalui Majlis Tindakan Ekonomi Negara ataupun MTEN, yang mana sejak 16 Mac 2026, Mesyuarat MTEN diadakan secara mingguan bagi menilai perkembangan krisis, mengenal pasti risiko kepada ekonomi negara dan menyelaras tindakan kementerian serta agensi berkaitan secara bersepadu. Taklimat media dan juga hebahan kepada orang awam turut dilaksanakan selepas Mesyuarat MTEN bagi memastikan komunikasi krisis berjalan secara telus, tepat dan berterusan.
Pasukan Petugas Pengurusan Krisis turut ditubuhkan bagi memantau kedudukan bekalan, harga, rantaian logistik dan juga keperluan intervensi segera. Dashboard Pantau Krisis juga disediakan sebagai platform maklumat hampir masa nyata supaya perkembangan krisis dapat dipantau secara lebih tersusun dan telus.
Setakat ini, sebanyak 120 keputusan yang kita putuskan dalam MTEN telah dan sedang diambil tindakan. Daripada jumlah tersebut, 27 keputusan telah selesai dilaksanakan, manakala 93 lagi sedang dalam proses pelaksanaan. Ini menunjukkan bahawa intervensi kerajaan bukan sekadar diumumkan, tetapi sedang dilaksana dan dipantau secara dekat.
Jadi, mengapa krisis ini penting kepada Malaysia? Selat Hormuz merupakan antara laluan tenaga paling penting di dunia. Lebih daripada 20 peratus perdagangan minyak dan gas dunia melalui laluan ini untuk ke pasaran global. Sebarang gangguan di laluan ini boleh memberi kesan kepada pasaran minyak, gas, kos perkapalan, premium insurans, tempoh penghantaran dan rantaian bekalan global.
Bagi Malaysia yang mengamalkan ekonomi terbuka, perkembangan ini perlu diurus dengan berhati-hati. Kita berdagang dengan dunia mengimport sebahagian makanan dan input industri serta bergantung kepada kelancaran rantaian bekalan antarabangsa. Sejak konflik bermula, harga minyak mentah Brent menunjukkan pergerakan yang sangat tidak menentu. Harga pernah meningkat daripada USD70.83 setong kepada paras tertinggi USD144.50 setong pada 7 April 2026 iaitu peningkatan sekitar 104 peratus.
Walaupun harga kembali menyederhana dalam tempoh seminggu dua ini kepada USD70.67 setong pada 26 Jun 2026, risiko pasaran tenaga masih belum reda sepenuhnya.
Keadaan ini kita perlu terus pantau kerana volatility harga minyak boleh memberi tekanan kepada kos operasi, logistik, inflasi dan akhirnya harga barangan yang ditanggung oleh rakyat.
Sebab itu, kerajaan tidak melihat krisis ini sebagai isu mingguan ataupun sementara.
Ia nya adalah satu risiko yang kita perlu urus secara berterusan untuk beberapa bulan, malah boleh mencecah tahun akan datang sambil negara membina daya tahan ekonomi jangka panjang.
Krisis ini Dato’ Yang di-Pertua, memberi tekanan kepada pelbagai sektor, khususnya logistik, penerbangan, perkapalan, pertanian, pembuatan, pembinaan dan juga perdagangan.
Industri berdepan lonjakan kos bahan api, kelewatan penghantaran input perantara, peningkatan kos inventori dan juga cabaran mendapatkan sumber bekalan alternatif. Kos pengangkutan freight sebagai contoh di peringkat global meningkat hampir dua kali ganda.
Manakala premium insurans kapal dagang di laluan berisiko melonjak sehingga 16 kali ganda bagi satu perjalanan. Perusahaan mikro, kecil dan sederhana ataupun PMKS lebih terdedah kepada tekanan ini kerana ruang kewangan mereka lebih terhad berbanding firma besar. Apabila kos meningkat secara mendadak, aliran tunai mereka lebih cepat terjejas.
Untuk sektor makanan pula, kenaikan kos logistik dan input pertanian memberi tekanan kepada harga barangan pengguna. Sebanyak 63 peratus keperluan bajet negara masih bergantung kepada sumber import. Berdasarkan penilaian semasa, kos baja diunjurkan meningkat antara 15 hingga 20 peratus. Manakala, kos makanan ternakan meningkat sekitar lapan peratus.
Maka sebab itu, kerajaan memberi perhatian khusus kepada keterjaminan bekalan barangan keperluan, kawalan harga barangan asas dan peningkatan kecekapan saluran pengedaran bagi mengurangkan kesan kenaikan harga kepada rakyat. Risiko pekerjaan juga kita pantau secara rapi. Tekanan kepada pasaran buruh bukan hanya berpunca daripada kenaikan harga, tetapi juga daripada permintaan global yang perlahan, kelemahan pasaran eksport dan juga tekanan kepada operasi perniagaan.
Namun begitu, jangkaan risiko ini masih rendah untuk Malaysia, memandangkan prestasi penyertaan tenaga buruh masih stabil. Yang ini ada saya nyatakan dalam Dewan yang mulia minggu lepas. Walaupun terdapat sedikit peningkatan dalam kadar pengangguran iaitu daripada 2.9 peratus ketiga peratus. Kerajaan sedang memantau rapi keadaan ini supaya sebarang perubahan kita dapat tangani dengan lebih awal.
Walaupun berhadapan persekitaran global yang mencabar, alhamdulillah, asas ekonomi Malaysia masih kukuh dan berdaya tahan. Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara atau Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara pada suku pertama untuk tahun 2026, telah mencatatkan pertumbuhan sebanyak 5.4 peratus, disokong oleh permintaan domestik yang kukuh. Inflasi juga kekal terkawal pada kadar dua peratus bagi bulan Mei 2026 berbanding dengan 1.9 peratus pada April 2026.
Untuk prestasi perdagangan luar turut menyokong daya tahan ekonomi. Jumlah eksport bagi tempoh Januari hingga Mei 2026, mencatatkan pertumbuhan sebanyak 24.3 peratus kepada RM793.8 bilion. Aliran masuk Pelaburan Langsung Asing ataupun FDI pada suku pertama 2026 pula berjumlah RM22.8 bilion khususnya dalam sektor perkhidmatan.
Prestasi ini menyumbang kepada lebihan imbangan akaun semasa sebanyak RM15.2 bilion atau 3.1 peratus kepada Pendapatan Negara Kasar (PNK).
Malaysia juga terus mencatat keyakinan pelabur. Pada suku pertama 2026, negara merekodkan RM92.8 bilion pelaburan yang diluluskan melibatkan 1,249 projek dan dijangka mewujudkan lebih 50,000 peluang pekerjaan baharu. Penganalisis global juga mengiktiraf kedudukan Malaysia, namun bagi kerajaan, ukuran yang lebih penting ialah rakyat biasa masih dapat mendapat bekalan minyak di petrol stesen, mendapatkan barangan keperluan di rak-rak kedai, meneruskan pekerjaan dan juga menerima bantuan apabila diperlukan.
Menteri Ekonomi - Tuan Haji Akmal Nasrullah bin Mohd Nasir
Itulah yang kita maksudkan mengenai daya tahan ekonomi. Ia bukan sekadar angka dalam laporan tetapi juga kestabilan yang kita dapat rasai dalam kehidupan harian.
Dato’ Yang di-Pertua, berkaitan dengan langkah intervensi yang diambil oleh kerajaan, kita gerakkan melalui empat pendekatan utama iaitu menjamin bekalan, memanjangkan bekalan, mengekang kenaikan harga dan juga memanfaatkan peluang.
Pendekatan ini dilaksanakan melalui empat fokus tindakan iaitu pertama, melindungi rakyat; kedua, menstabilkan bekalan dan harga; ketiga, menyokong PMKS serta industri; dan keempat, membina daya tahan ekonomi jangka sederhana dan panjang.
Jadi, untuk yang pertama, melindungi rakyat. Keutamaan kerajaan ialah memastikan rakyat tidak menanggung sepenuhnya kesan awal krisis global. Bantuan dan subsidi bersasar terus diperkukuh bagi mengurangkan tekanan kos sara hidup melalui— sebagai contoh yang pertama, Sumbangan Tunai RAHMAH dan juga Sumbangan Asas RAHMAH (SARA) bulanan. Kedua, mengekalkan harga petrol bersubsidi BUDI MADANI RON95 pada RM1.99 per liter bagi 14 juta penerima yang layak.
Ketiga, BUDI MADANI Diesel juga telah diperkenalkan bermula 1 Julai dengan harga RM2.10 bagi menyeragamkan pelaksanaan subsidi diesel secara lebih bersasar. Keempat, memperbanyakkan Program Jualan RAHMAH kepada 30,000 jualan untuk tahun 2026.
Sehingga 22 Jun, sebanyak 14,884 program ini telah dilaksanakan di seluruh negara.
Langkah ini penting supaya bantuan sampai kepada kumpulan yang benar-benar memerlukan, khususnya kepada isi rumah yang berpendapatan rendah, pekerja dan juga peniaga kecil, petani, pekebun kecil dan juga pengguna yang terkesan dengan kenaikan kos harian.
Untuk pendekatan yang kedua, dalam soal menstabilkan bekalan dan harga, kerajaan melaksanakan pemantauan harian ke atas bekalan dan juga harga barangan keperluan. Penyelarasan turut dibuat bersama dengan PETRONAS dan pemain industri untuk memantau kedudukan stok dan melaksanakan langkah contigency supaya keperluan pengguna serta ekonomi utama tidak terjejas dan memastikan bekalan tenaga negara kekal stabil.
Sehingga kini, kerajaan dapat memastikan bekalan bahan api mencukupi sehingga penghujung Ogos 2026 dan sedang berusaha untuk memastikan bekalan bahan api terus terjamin. Ini penting supaya aktiviti harian rakyat, pengangkutan awam, logistik, perniagaan dan juga sektor kritikal dapat terus beroperasi.
Bekalan beras negara, termasuk stok penimbal juga masih terkawal iaitu mencukupi untuk tempoh lima hingga enam bulan. Bekalan makanan asas seperti ayam, telur, ikan, susu dan buah-buahan mencukupi untuk tempoh sekurang-kurangnya sebulan. Pemantauan harga barangan keperluan mengikut lokasi dilaksanakan melalui platform PriceCatcher.
KPDN memantau 316 barangan keperluan di lebih 2,000 premis runcit seluruh negara dengan sokongan 850 orang pegawai pemantau harga.
Penguatkuasaan terhadap pencatutan dan penyeludupan turut dipertingkatkan supaya tekanan global tidak dimanipulasi untuk menaikkan harga secara tidak munasabah.
Kerajaan juga turut memperkenalkan langkah intervensi bagi menjamin serta memanjangkan ketersediaan bekalan. Antaranya seperti berikut. Pertama, menyelaraskan had kuota BUDI95 daripada 300 liter kepada 200 liter bermula 1 April. Meningkatkan kadar bantuan tunai BUDI Agri-Komoditi kepada RM400 sebulan untuk lebih 200,000 petani serta pekebun kecil yang terkesan dengan dana tambahan RM20 juta sebulan.
Ketiga, menyediakan pendahuluan insentif pembajakan kepada pesawah (IPKP) sebanyak RM300 sehektar bagi membantu pesawah menampung peningkatan kos operasi.
Keempat, memastikan kesinambungan bekalan baja negara melalui pengukuhan kerjasama strategik dengan negara lain, termasuk daripada Australia.
Kelima, memantau bekalan ubat dan peranti perubatan melalui pasukan petugas khas keterjaminan perkhidmatan kesihatan. Keenam, melaksanakan inisiatif bekerja dari rumah (BDR) untuk penjawat awam bermula daripada 15 April dan diteruskan dengan hari bekerja hibrid sebagai norma baharu mulai 1 Ogos 2026.
Sektor swasta juga turut menyahut saranan aturan kerja fleksibel ini. Yang ketiga Dato’ Yang di-Pertua, untuk menyokong PMKS dan industri, kerajaan memberi tumpuan kepada kelangsungan operasi firma dan industri tempatan menerusi penyediaan pelbagai bentuk sokongan kewangan dan juga insentif bersasar dalam rantaian input kritikal.
PKS yang terjejas menerima sokongan aliran tunai melalui Bank Negara Malaysia.
Fund yang kita panggil SME Stabilisation Relief Facility (SME SRF), dengan izin, berjumlah RM5 bilion yang mana setakat 18 Jun, lebih daripada 1,000 PKS telah pun diluluskan pembiayaan, yang mana nilaiannya lebih daripada RM17 juta.
Jadi maksudnya, masih ada RM4 bilion yang tersedia yang menunjukkan kita masih ada ruang yang mencukupi untuk permohonan seterusnya. Selain itu, sokongan pembiayaan juga kita sediakan melalui Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP). Hingga 24 Jun, sebanyak 225 akaun telah diluluskan dengan jumlah pembiayaan sebanyak RM157.52 juta bagi sektor yang terkesan. Antaranya sektor berasaskan agro, pembinaan, logistik, pengangkutan dan juga pelancongan.
Seterusnya, kerajaan turut melaksanakan pengurangan atau diskaun kadar sewaan premis perniagaan milik kerajaan dan juga agensi kerajaan kepada peniaga dan penjaja kecil yang layak antara 20 hingga 50 peratus. Ada juga negeri dan pihak berkuasa tempatan turut menyahut seruan ini.
Sektor logistik dan pengangkutan darat pula dibantu melalui penambahbaikan kuota di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) bagi mengekang ketirisan tanpa menjejaskan kestabilan rantaian bekalan domestik.
Terakhir, keempat, membina daya tahan jangka sederhana dan panjang. Tumpuan kita bukan sekadar untuk menguruskan krisis ketika ini. Yang penting ialah untuk kita juga memastikan ekonomi Malaysia lebih bersedia menghadapi cabaran global pada masa hadapan. Krisis ini memberi peluang kepada negara untuk menstrukturkan semula ekonomi kita.
Keutamaan dan strategi di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) akan terus diperkukuh, terutamanya dalam produktiviti, sektor bernilai tinggi, keselamatan makanan, peralihan tenaga, pendigitalan dan juga pembangunan bakat. Dari sudut keselamatan makanan, RMK13 akan memperkukuh rantaian bekalan domestik, meningkatkan kapasiti agro makanan, mempelbagaikan sumber import dan juga mengurangkan kebergantungan kepada input kritikal dari luar negara.
Dari sudut tenaga, RMK akan terus meneruskan agenda peralihan tenaga, peluasan tenaga boleh baharu dan juga penggunaan sumber domestik yang lebih strategik. Contoh yang paling rapat adalah pelaksanaan B15 biodiesel secara berperingkat mulai 1 Jun 2026, yang mana antara langkah awal untuk kita terus mengurangkan kebergantungan kepada diesel fosil import dan memanjangkan daya tahan bekalan bahan api negara.
Sebanyak 69 peratus daripada operasi 33 depot pengadunan telah menghasilkan adunan B12 dan juga B15. Selain itu, projek naik taraf depot pengadunan kepada B20 bagi fasa satu telah diluluskan di bawah RMK13 dengan kos sebanyak RM41.8 juta.
Menteri Ekonomi - Tuan Haji Akmal Nasrullah bin Mohd Nasir
Bagi pelaksanaan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR) terus diperkukuh dengan tumpuan kepada enam bidang utama iaitu kecekapan tenaga, tenaga boleh baharu, hidrogen, bioenergy, mobiliti hijau dan juga carbon capture, utilization dan storage atau CCUS.
Selain itu, ketersediaan input perantara strategik seperti nafta, resin dan helium, walaupun sebenarnya penggunaannya tidaklah besar, tetapi ia nya perlu dipertingkat bagi memastikan rantaian sumber bahan mentah dalam negara adalah terjamin.
Dari sudut industri pula, pelaksanaan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 dan juga Strategi Semikonduktor Nasional (NSS) akan membantu kita untuk terus memacu usaha ke arah penciptaan lebih banyak produk serta perkhidmatan domestik yang bernilai tinggi, meningkatkan produktiviti serta memperkukuh daya saing negara pada peringkat antarabangsa menerusi peluasan jaringan perdagangan global, diversifikasi pelaburan dan juga pengukuhan ekosistem inovasi yang mampan.
Semua langkah ini penting supaya Malaysia tidak terlalu bergantung kepada satu sumber, satu laluan atau satu pasaran sahaja.
Dato’ Yang di-Pertua, saya tak ada diberikan masa ini. Jadi, ada lagi sedikit yang saya boleh sampaikan.
Kerajaan mengambil pendekatan realistik berasaskan bahawa pemulihan krisis bekalan global ini akan mengambil masa. Walaupun harga minyak mentah ketika ini telah menunjukkan ke arah yang lebih sederhana berbanding paras tertinggi sebelum ini, kesan kepada kos logistik, bekalan bahan api bertapis dan juga input pertanian serta harga barangan akan mengambil masa untuk kembali stabil.
Berdasarkan perkembangan antarabangsa, sekiranya perkara ini bertahan dan menunjukkan ke arah yang lebih baik, pasaran tenaga dijangka mula stabil secara berfasa dalam suku ketiga 2026. Keadaan ini masih tertakluk kepada kestabilan geopolitik dan juga kelancaran semula laluan perdagangan.
Ketidaktentuan harga serta bekalan tenaga dijangka terus mempengaruhi pasaran dalam jangka masa satu hingga dua tahun lagi. Namun, kita tidak akan menunggu sehingga keadaan benar-benar pulih di luar sana. Sebaliknya, pemantauan dan intervensi akan diteruskan sepanjang tempoh pemulihan ini supaya tekanan kepada rakyat, PMKS dan industri dapat dikurangkan.
Kesimpulannya, Dato’ Yang di-Pertua, kerajaan tidak menafikan bahawa krisis bekalan global membawa risiko besar sekiranya berlarutan. Risiko ini sedang diurus secara tersusun, berhemah dan juga berpandukan kepada data. Perkembangan krisis ini kita akan terus pantau melalui MTEN dan agensi yang berkaitan. Perkongsian kepada rakyat akan dibuat mengikut keperluan supaya semua pihak mendapat maklumat yang jelas, tepat dan terkini.
Pada akhirnya, usaha menangani impak krisis ini memerlukan kerjasama semua pihak agar kita bersama dapat mengurangkan kesannya kepada ekonomi dan rakyat.
Dengan pendekatan ini, Malaysia akan terus berwaspada tanpa cemas, realistik tanpa defensif dan juga bertindak awal supaya ekonomi negara kekal stabil, rakyat terus dilindungi dan keyakinan terhadap Malaysia dapat diperkukuhkan.
Sekian, terima kasih, Dato’ Yang di-Pertua.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Bismillahirrahmanirrahim. Yang Berhormat Menteri telah selesai membentangkan isu penjelasan bab ekonomi. Selanjutnya, Yang Berhormat-Yang Berhormat, Dewan ini terbuka untuk Yang Berhormat memohon penjelasan dan cadangan kepada Yang Berhormat Menteri.
Jadi, kalau ikut senarai pembahas, ada seramai lima orang. Senarai adalah seperti berikut iaitu dimulakan dengan oleh Yang Berhormat Kampar, Yang Berhormat Bachok, Yang Berhormat Sandakan, Yang Berhormat Machang dan Yang Berhormat Merbok. Masa ditetapkan lima minit. Walau bagaimana, terpulang pada budi bicara Pengerusi. Selepas itu, Yang Berhormat Menteri akan menjawab apa yang telah dibangkit oleh Yang Berhormat, Yang Berhormat.
Dengan ini, saya mempersilakan untuk membuka tirai, Yang Berhormat Kampar.
Tuan Chong Zhemin - Kampar
Terima kasih Timbalan Speaker. Saya ambil kesempatan ini untuk alu-alukan kehadiran wakil-wakil PIBG sekolah dan penduduk Rasah ke Dewan Rakyat yang diaturkan oleh YB Rasah.
[Tepuk] Timbalan Speaker, terima kasih kerana memberi ruang kepada saya untuk perbahasan berhubung penerangan ekonomi Menteri tentang langkah kerajaan menangani krisis bekalan global.
Saya ingin tegaskan bahawa krisis bekalan global hari ini sudah menjadi cabaran struktur kepada ekonomi dunia. Ia melibatkan makanan, tenaga, bahan mentah, ubat-ubatan, logistik, komponen elektronik dan kini semakin ketara dalam sektor semikonduktor khususnya cip memori yang sangat penting kepada AI.
Dunia sedang berubah dengan sangat pantas. Permintaan terhadap AI telah melonjakkan keperluan terhadap pusat data, GPU, high bandwidth memory (HBM), DRAM dan NEM. Apabila syarikat teknologi besar berebut kapasiti cip memori untuk membina infrastruktur AI, kesannya tidak berhenti di sektor teknologi sahaja. Ia boleh memberi tekanan kepada harga komputer, telefon pintar, kenderaan, peralatan industri, peralatan perubatan dan sistem digital yang digunakan oleh syarikat kecil dan sederhana. Inilah maksud sebenar krisis bekalan global pada hari ini.
Dahulu kita bercakap tentang kontena, minyak, gandum dan baja. Hari ini kita juga perlu bercakap tentang HBM, DRAM, wafer, mesin semikonduktor, bahan kimia industri dan tenaga kerja mahir. Jika Malaysia gagal membaca perubahan ini dengan awal, kita akan menjadi negara yang hanya menerima kesan harga naik. Tetapi, jika kita bertindak dengan bijak, Malaysia boleh menjadi sebahagian daripada penyelesaian rantaian bekalan dunia.
Timbalan Speaker, dalam konteks ini, saya menyambut baik usaha kerajaan melalui National Semiconductor Strategy. Malaysia sudah mempunyai asas yang kuat dalam sektor elektrik dan elektronik, khususnya di Pulau Pinang, Kedah, Selangor, Johor dan Perak.
Namun, kita tak boleh berpuas hati hanya sebagai pusat pemasangan, pengujian dan pembungkusan. Gelombang AI membuka ruang baharu dengan Malaysia bergerak kepada advance packaging, IC design, peralatan semikonduktor, bahan kritikal, automation dan ekosistem bakat berkemahiran tinggi.
Saya ingin mencadangkan beberapa perkara. Pertama, kerajaan perlu menubuhkan satu mekanisme amaran awal rantaian bekalan negara. Kita perlu memantau secara bersepadu stok makanan asas, harga tenaga, kos penghantaran, bekalan ubat, bahan mentah industri, komponen elektronik, cip memori dan input strategik kepada sektor pembuatan. Data ini tak boleh berpecah antara kementerian dan agensi. Malaysia memerlukan pusat pemantauan rantaian bekalan nasional yang mampu memberi amaran awal sebelum krisis sampai kepada rakyat dan industri.
Kedua, kerajaan perlu mengenal pasti barangan kritikal negara...
Tuan Mohd Sany bin Hamzan - Hulu Langat
Kampar, nak minta sedikit pandangan daripada Kampar boleh tak?
Tuan Chong Zhemin - Kampar
Boleh, boleh.
Tuan Mohd Sany bin Hamzan - Hulu Langat
Soal berkaitan dengan tenaga ini.
Baru-baru ini, kita tengok Perdana Menteri baru ini, dia pergi ke Rusia. Dan Kerajaan Rusia bersetuju untuk membekalkan minyak kepada negara kita untuk tempoh 20 tahun yang akan datang.
Kemudian, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri pula pergi ke satu negara. Yang ini, Gopeng, Perdana Menteri kita ini, P. Ramlee dah ajar dulu dah. Negara yang hujung dia ‘tan, tan, tan, tan’ itu, kan? Nasib baik bukan setan lah, dia katakan. Yang itu, saya nak sebutkan, Turkmenistan, kan?
Kita dapat satu telaga gas yang sangat besar yang akan dikendalikan oleh PETRONAS. Ini adalah merupakan satu kejayaan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri untuk menjaga, untuk mengekalkan kestabilan bahan tenaga dalam negara kita. Walaupun ada setengah-setengah kawan kita ini yang pertikaikan, yang caci, yang maki, paling tidak pun bagilah ucapan tahniah kepada Kerajaan Perpaduan, Kerajaan MADANI. Bagilah ucapan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri. Dan, insya-Allah, Pakatan Harapan akan membentuk kerajaan di negeri Johor.
Sekian. Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih, Speaker.
Tuan Tan Hong Pin - Bakri
Yang Berhormat. Yang Berhormat Kampar dan Yang Berhormat Dato’ Tuan Yang di-Pertua. Kita tahu tadi Yang Berhormat Hulu Langat kata itu dari segi supply. Dari segi demand, kerajaan telah menurunkan ya kuota daripada 300 kepada 200 liter setiap rakyat. Tetapi, walaupun kerajaan menyatakan bahawa hanya satu peratus orang yang terjejas, saya lihat ini— satu, data ini mungkin tak tepat. Di mana, saya sendiri selepas saya mencecah 200 liter, saya akan guna MyKad isteri saya ataupun saudara- mara.
Tuan Tan Hong Pin - Bakri
Jadi, saya minta ya, saya minta, saya cadangkan supaya bagi mereka yang perlu ya, perlu lebih daripada 200 liter diberikan satu mekanisme untuk memohon tambah kuota.
Mungkin dari 200 tambah 100, 300. Sekiranya masih tak cukup, 300 kepada 400. Maksudnya, kita tidak mahu menggalakkan bahawa rakyat kita menggunakan IC orang lain untuk mengisi minyak, tetapi kita ada satu mekanisme membenarkan rakyat kita untuk menggunakan ya, ataupun menikmati apa hak mereka. Sebab bagi kita mengadakan subsidi secara bersasar untuk memastikan bahawa siapa yang menikmati kemudahan itu adalah rakyat kita.
Jadi, jangan kita hadkan kuota berapa yang dia layak tetapi siapa yang perlu lebih, dia boleh mohon dan kerajaan beri kuota yang lebih. Jadi, saya harap perkara ini dipertimbangkan oleh kerajaan.
Saya minta pandangan daripada Yang Berhormat Kampar, sama ada setuju kah tidak?
Tuan Chong Zhemin - Kampar
Ini saya bagi Menteri untuk jawablah. Saya teruskan, dalam sektor makanan...
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Yang Berhormat...
Tuan Chong Zhemin - Kampar
Ya? Saya tak habis lagi. Dia..
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Yang Berhormat, sebentar Yang Berhormat, saya bercakap, Peraturan 42 menyatakan saya bercakap, Yang Berhormat dengar. Ya.
Yang Berhormat, masa diberi kepada anda lima minit, anda pula telah bagi ruang kepada mereka yang mencelah. Jadi, saya akan had hanya seminit. Cukup time, saya akan tutup. Silakan.
Tuan Chong Zhemin - Kampar
Okey. Terima kasih. Saya skip point kedua. Ketiga, kerajaan perlu menjadikan krisis cip memori dan AI sebagai peluang industri nasional.
Kekurangan HBM dan DRAM menunjukkan bahawa dunia sedang mencari rantaian bekalan rantaian yang lebih selamat, lebih pelbagai dan lebih dipercayai.
Malaysia mesti mengambil peluang ini untuk menarik pelaburan berkualiti tinggi tetapi pada masa yang sama, membangunkan syarikat tempatan. Jangan sampai pelaburan datang tetapi nilai tambah tempatan rendah. Kita perlu pastikan jurutera Malaysia, syarikat Malaysia dan universiti Malaysia turut naik bersama industri ini.
Keempat, saya menyeru kerajaan supaya memberi tumpuan khas kepada pembangunan bakat semikonduktor dan AI. Jika kita mahu menjadikan hab rantaian bekalan teknologi, kita memerlukan jurutera, technician, pereka cip, pakar data, pakar automasi dan pekerja mahir. Kerajaan perlu menyelaraskan universiti, politeknik, TVET dan industri supaya latihan benar-benar sepadan dengan permintaan pasaran. Anak muda Malaysia mesti melihat sektor semikonduktor dan AI sebagai kerjaya masa depan yang stabil bergaji baik dan bernilai tinggi.
Sekian, terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Terima kasih Yang Berhormat. Wah, tepat pada waktunya. Berikut saya mempersilakan Yang Berhormat Bachok.
Tuan Haji Mohd Syahir bin Che Sulaiman - Bachok
Terima kasih Tuan Yang di- Pertua. Terima kasih Yang Berhormat Menteri atas penerangan yang terperinci. Tiga perkara ingin saya bangkitkan. Yang pertama ekonomi rakyat, yang kedua peranan MTEN, yang ketiga kedaulatan ekonomi.
Saya mulakan dengan realiti ekonomi rakyat Tuan Yang di-Pertua. Perkembangan semasa dalam pasaran buruh wajar diberi perhatian yang serius. Terbaharu, lebih 42,000 pekerja hilang pekerjaan sejak awal tahun. Sebahagian besarnya berumur 25 hingga 40 tahun. Setiap angka ini mewakili sebuah keluarga, Tuan Yang di-Pertua. Justeru, perkembangan ini tidak boleh dipandang ringan dan isu ini telah pun dijawab panjang lebar oleh Yang Berhormat Menteri dalam sesi MQT tempoh hari.
Pada masa yang sama, kadar inflasi yang dilaporkan masih terkawal, tidak menggambarkan sepenuhnya tekanan yang dihadapi di peringkat kos pengeluaran. Saya ikuti taklimat Yang Berhormat Menteri, beliau turut membangkitkan perkara ini. Tekanan kos ini akhirnya berpotensi dipindahkan kepada kenaikan harga yang ditanggung pengguna, khususnya dalam segmen makanan, pengangkutan, perkhidmatan dan perubatan.
Oleh itu, Bachok berpandangan kerajaan perlu memberi perhatian yang sama serius terhadap petunjuk mikroekonomi di samping terus memantau petunjuk makroekonomi supaya dasar yang digubal benar-benar mencerminkan realiti ekonomi rakyat.
Sekiranya krisis ini berlarutan, kerajaan boleh mempertimbangkan moratorium pembiayaan secara bersasar kepada pekerja dan PMKS yang terjejas serta insentif sementara kepada majikan bagi mengekalkan tenaga kerja sedia ada. Bagi sektor kritikal seperti makanan dan pertanian, kerajaan boleh mempertimbangkan dana penstabilan kos input bagi mengurangkan tekanan kos pengeluaran.
Seterusnya Tuan Yang di-Pertua, peranan MTEN. Majlis Tindakan Ekonomi Negara
(MTEN) ditubuhkan ketika negara berdepan Krisis Kewangan 1998. Hampir tiga dekad berlalu, cabaran ekonomi hari ini jauh lebih kompleks merangkumi persaingan blok ekonomi, konflik geopolitik, keselamatan tenaga serta tarif perdagangan.
Sehubungan itu, MTEN wajar diperkasakan dari segi mandat, autoriti penyelarasan dan keupayaan membuat keputusan dengan lebih pantas dan berkesan. Kerajaan kini mempunyai pelbagai platform berkaitan ekonomi termasuk Jawatankuasa Penasihat Dasar Kepada Perdana Menteri (PMAC) dan Pusat Tindakan Geoekonomi Negara (NGCC) di bawah MITI.
Dalam hal ini, MTEN perlu menjadi platform utama bagi semua isu ekonomi strategik negara termasuk penyelarasan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi menangani krisis yang merentasi dimensi ekonomi dan keselamatan. Dengan tadbir urus, bidang kuasa dan mekanisme penyelarasan yang lebih jelas, segala syor keputusan dan tindakan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
Akhir Tuan Yang di-Pertua, kedaulatan ekonomi. Tidak lengkap ucapan saya tanpa mengajak Dewan yang mulia ini mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Amerika Syarikat dan Israel yang melancarkan serangan serta pencerobohan terhadap Republik Islam Iran.
[Tepuk] Perang yang tercetus pada 28 Februari itu jelas melanggar undang-undang antarabangsa dan Piagam PBB malah merupakan suatu bentuk jenayah perang yang mengancam keamanan dunia. Malah ekonomi dunia juga gawat akibat serangan yang dilancarkan oleh Amerika dan juga Israel.
Oleh itu, ketegasan Malaysia dalam mempertahankan prinsip kedaulatan, keamanan dan keadilan antarabangsa amatlah dituntut. Namun, Dato’ Yang di-Pertua, terdapat dua insiden, yang menyebabkan kita di Malaysia berasa amat terkilan.
Sila.
Dato’ Sri Saifuddin bin Abdullah - Indera Mahkota
Terima kasih Bachok. Adakah Bachok terkilan kerana Menteri Ekonomi dari awal menggunakan perkataan konflik US-Iran?
Sedangkan ini perang. Tak kah pandangan Menteri itu sedikit terkeliru?
Tuan Haji Mohd Syahir bin Che Sulaiman - Bachok
Ya. Saya dengar di awal pembentangan Yang Berhormat Menteri, beliau menggunakan istilah konflik. Sedangkan sepatutnya berani menyebutkan bahawa inilah satu perang yang dilancarkan oleh US, Israel terhadap Iran.
Dato’ Yang di-Pertua, terdapat dua insiden yang menyebabkan kita di Malaysia berasa amat terkilan. Pertama, pada 14 Mac 2026, dua minggu selepas serangan dilancarkan. Malaysia membenarkan persinggahan, port of call, dengan izin, dua kapal tempur pesisir LCS milik tentera Amerika Syarikat di Pelabuhan Pulau Pinang. Walaupun persinggahan tersebut dikatakan mematuhi prosedur yang ditetapkan oleh Menteri Pertahanan, Malaysia tidak boleh dilihat seolah-olah memberi ruang logistik kepada tentera asing yang terlibat dalam perang yang masih aktif selaras dengan prinsip berkecuali negara.
Kedua, pada 9 Jun 2026, Tim Marshall seorang pelobi pro-Zionis antarabangsa dijemput sebagai penceramah utama pada Persidangan Invest Malaysia Kuala Lumpur.
Jemputan tersebut dibantah kira-kira 30 NGO kerana disifatkan bercanggah dengan pendirian rasmi Malaysia yang konsisten menyokong perjuangan rakyat Palestin.
Pihak penganjur kemudiannya memohon maaf serta mengakui berlaku kecuaian kerana gagal menyemak latar belakang panelist secara menyeluruh. Perkara ini tidak seharusnya berulang. Semua pihak perlu memastikan setiap tindakan dan keputusan sentiasa selaras dengan pendirian Dasar Luar Malaysia serta kepentingan kedaulatan negara.
Tuan Yang di-Pertua, sebagai penutup, izinkan saya berkongsi firman Allah SWT yang bermaksud, “Yusuf berkata, hendaklah kamu bersungguh-sungguh menanam tujuh tahun berturut-turut. Kemudian, apa yang kamu tuai, biarkanlah pada tangkai-tangkainya kecuali sedikit dari bahagian yang kamu jadikan untuk dimakan. Kemudian, akan datang selepas tempoh itu, tujuh tahun kemarau yang besar yang akan menghabiskan makanan yang kamu sediakan baginya kecuali sedikit dari apa yang kamu simpan.” Surah Yusuf, Ayat 47-48.
Mudah-mudahan, menjadi pedoman kepada kita semua dalam menghadapi cabaran ekonomi semasa dan mendatang, insya-Allah. Sekian daripada Bachok. Terima kasih Dato’ Yang di-Pertua.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Yang Berhormat Bachok, ayat 44?
Tuan Haji Mohd Syahir bin Che Sulaiman - Bachok
Surah Yusuf, Ayat 47-48.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
47-48.
Tuan Haji Mohd Syahir bin Che Sulaiman - Bachok
Nabi Yusuf diminta untuk mentadbir mimpi Raja Mesir ketika itu, Dato’ Yang di-Pertua.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Terima kasih.
Berikut, dipersilakan Yang Berhormat Sandakan.
Puan Vivian Wong Shir Yee - Sandakan
Terima kasih Dato’ Speaker. Hari ini Sandakan bangun untuk membahaskan berkenaan dengan usul mengenai krisis bekalan global. Satu isu bukan sahaja memberi kesan kepada ekonomi dunia, malah terus menjejaskan kehidupan seharian rakyat Malaysia, khususnya rakyat di Sabah.
Jadi, konflik atau gangguan rantaian bekalan, kenaikan kos penghantaran dan juga ketidaktentuan ekonomi global telah menyebabkan harga makanan, bahan mentah dan juga barangan keperluan meningkat. Malaysia turut dalam menerima tempiasnya.
Puan Vivian Wong Shir Yee - Sandakan
Jadi— namun, saya ingin menegaskan bahawa kesan krisis ini tidak dirasai secara sama rata, Sabah dan Sarawak menanggung beban yang sangat jauh lebih besar. Jadi Dato’ Speaker, inilah realiti yang kami hadapi setiap hari di Sabah.
Sebagai sebuah negeri yang bergantung kepada pengangkutan laut dan darat untuk mendapatkan sebahagian besar bekalan, setiap kenaikan kos logistik akan terus diterjemahkan kepada kenaikan harga barang di peringkat pengguna. Di Sandakan, saya telah menerima banyak aduan daripada peniaga, petani, nelayan dan juga pengusaha kecil yang terpaksa menanggung kos operasi yang semakin tinggi.
Akhirnya, beban ini dipindahkan kepada rakyat melalui peningkatan kos sara hidup.
Jadi, dalam usaha kerajaan melaksanakan penyasaran subsidi diesel melalui BUDI MADANI, saya amat menghargai niat kerajaan untuk memastikan subsidi disampaikan kepada golongan yang benar-benar memerlukan.
Namun, pelaksanaan dasar ini perlu mengambil kira realiti di Sabah. Masih terdapat banyak industri dan sektor ekonomi di Sabah yang tidak termasuk dalam skim subsidi atau tidak memenuhi syarat kelayakan walaupun mereka memainkan peranan yang penting dalam rantaian bekalan makanan dan ekonomi tempatan termasuk sektor pelancongan yang menjadi antara penyumbang utama ekonomi Sabah. Kalau tidak mengambil kira keadaan ini, memang susah bah untuk industri kami terus bersaing.
Jadi, di Sabah, jarak perjalanan antara daerah adalah sangat jauh, pengangkutan awam masih lagi terhad di banyak kawasan luar bandar. Jadi, ramai rakyat kami bergantung pada kenderaan diesel untuk bekerja, berniaga dan juga mengangkut hasil pertanian. Saya juga ingin menarik perhatian kerajaan terhadap penggunaan kenderaan persendirian jenis pacuan empat roda 4x4.
Di Semenanjung, mungkin anda ada yang melihat kenderaan 4x4 adalah sebagai pilihan gaya hidup, tetapi di Sabah keadaannya adalah sangat berbeza. Bagi ramai rakyat Sabah terutamanya di kawasan pedalaman dan juga luar bandar, 4x4 bukanlah satu kemewahan, tetapi adalah satu keperluan.
Tanpa kenderaan ini, adalah susah-susah untuk masuk ke kampung-kampung tertentu apatah lagi musim hujan. Jadi, keadaan jalan yang berbukit, tidak terturap terlalu dan juga berlumpur sering dinaiki air menyebabkan ramai yang tidak mempunyai pilihan, selain menggunakan kenderaan diesel.
Jadi, kenderaan ini digunakan untuk menghantar anak ke sekolah, mendapatkan rawatan di hospital, membawa hasil sawit, getah, buah-buahan ke pasar dan juga seterusnya.
Jadi, apabila kos diesel di masa sekarang kuota telah dihadkan, kesannya bukan sahaja kepada pemilik kenderaan, tetapi kepada kos pengangkutan dan juga kos pengeluaran, akhirnya, barang dibayar oleh rakyat lebih tinggi.
Jadi, kerajaan telah menetapkan kuota subsidi melalui MyKad. Persoalannya, adakah kuota tersebut benar-benar mencukupi bagi rakyat Sabah? Ramai yang melakukan ratusan kilometer setiap hari, penduduk di kawasan Tongod, Kinabatangan, Beluran, Nabawan, Pensiangan dan kawasan pedalaman juga. Jadi, kadang-kadang satu perjalanan pergi balik sahaja telah menggunakan sebahagian kuota besar yang telah diberikan.
Jadi, saya juga ingin membangkitkan bahawa— saya percaya semua Menteri mempunyai pengalaman dan juga kepakaran dan kebijaksanaan dalam membuat keputusan demi kepentingan negara. Tapi, saya sangat menghormati setiap dasar yang dirangka oleh pihak kerajaan.
Namun, persoalan saya ialah mengapa dalam perkara yang memberi kesan begitu besar kepada kehidupan rakyat seperti penyasaran subsidi diesel, Ahli-ahli Parlimen khususnya, backbenchers tidak diberi ruang mencukupi untuk berkongsi pandangan dan juga realiti di kawasan masing-masing sebelum sesuatu dasar dilaksanakan.
Jadi, kami ini turun padang hampir setiap hari, kami dengar suara rakyat dan kami tahu masalah yang mereka hadapi. Jadi, saya selaku Ahli Parlimen Sandakan, kami ingin mewakili rakyat-rakyat kami untuk meluahkan perasaan mereka berkenaan dengan subsidi ini.
Jadi— seterusnya, saya ingin membangkitkan bahawa saya juga ingin mendapatkan penjelasan daripada kerajaan mengenai pelaksanaan sistem MyKad ini. Jadi siapa yang sebenarnya layak menggunakan MyKad untuk membeli diesel? Ada banyak pemilik yang bertanya kepada saya, mereka ada beberapa kenderaan tetapi melalui yang belum di-register sebagai— dalam dia punya syarikat, adakah mereka layak diberi peluang untuk subsidi kuota ini?
Oleh kerana masa telah suntuk, saya tidak dapat lagi berkongsi saya punya cadangan. Saya seterusnya akan berkongsi dengan Menteri berkenaan dengan cadangan- cadangan dari Sabah berkenaan dengan subsidi BUDI Diesel ini. Terima kasih Dato’ Speaker.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Terima kasih Yang Berhormat. Berikut dipersilakan Yang Berhormat Machang.
Tuan Wan Ahmad Fayhsal bin Wan Ahmad Kamal - Machang
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Yang Berhormat Menteri, saya rasa saya nak bagi teguran sedikit. Kami tak setuju dengan istilah yang digunakan oleh Yang Berhormat Menteri melibatkan istilah konflik.
Kita sebenarnya kena lebih tepat, ia nya satu perang. Ya, perang yang haram, illegal war yang berlaku antara Amerika dan Iran.
Kenapa saya kata ini penting untuk kita bermula dalam berbahas hal ini? Kerana ia nya memberi kesan ekonomi yang begitu besar. Saya ambil contoh dahulu, ketika perang menentang komunis. British dia tak guna istilah perang, dia guna emergency dengan izin.
Sebab apa? Sebab British nak melindungi kepentingan konglomerat-konglomerat British di Malaya ketika itu, melibatkan plantation dan sebagainya.
Jadi, dalam istilah di Hormuz ini, sebenarnya perang yang sedang berlaku, secara substantifnya perang. Malah, perang yang haram kerana Amerika menyerang Iran tanpa ada casus belli, tanpa ada sebarang asbab yang munasabah dan Iran bertindak balas adalah satu perkara yang sah di bawah undang-undang antarabangsa.
Jadi Yang Berhormat Menteri, bila kita dah tahu ia nya satu benda yang begitu serius iaitu perang, bukan sekadar krisis, sepatutnya kita mengambil pendekatan yang lebih telus dengan rakyat sepertimana Kerajaan Singapura. Saya ambil contoh Perdana Menteri dia, Lawrence Wong, begitu tegas. Pada awal mula sahaja pergolakan di situ, rakyat Singapura dah diberitahu, malah ada sidang khas dan sebagainya.
Tapi, di sini kita tuntut sidang khas yang dipanggil oleh pembangkang, tak nak buat, nak melarikan diri. Malah Penasihat Ekonomi Kerajaan MADANI, bulan tujuh, bulan enam baru ni baru nak keluar dalam televisyen, katakan, “Oh, kita sebenarnya dalam krisis dan sebagainya”. It is too late. Ya, sebab apa? Di bawah syarikat-syarikat sedang merana, rakyat sedang mengeluh. Jadi, saya mintalah Yang Berhormat Menteri tolong ambil pendekatan yang lebih substantif dalam menangani isu ini.
Baik, soalnya ketika ini Yang Berhormat, adakah Malaysia benar-benar dalam keadaan kedudukan yang lebih kukuh berbanding krisis kewangan 1997 dan 1998? Saya berpandangan tidak. Pertama, kita menghadapi krisis ini daripada kedudukan fiskal yang jauh lebih lemah. Semasa krisis pada 1998, kerajaan mempunyai ruang fiskal yang besar.
Hari ini kita masuk dalam krisis— dalam keadaan yang berbeza. Kita ada defisit yang berterusan berbanding pada tahun 1998. Dulu Kerajaan Persekutuan berhutang RM91 bilion, kira-kira 32 peratus daripada KDNK. Hari ini, hutang kerajaan telah meningkat sekitar RM1.3 trilion. Lebih membimbangkan hampir 17 peratus hasil kerajaan kini digunakan hanya untuk membayar faedah hutang.
Yang kedua, fakta yang kedua Tuan Yang di-Pertua. Malaysia bukan lagi negara pengeksport minyak seperti dahulu. Pada hari ini, kita net importer kepada minyak yang kita sendiri hasilkan. Yang ketiga, dasar subsidi semata-mata bukan penyelesaian jangka panjang.
Jadi, kita perlu ada satu reformasi percukaian yang lebih serius, macam mana yang banyak pihak cadangkanlah. Janganlah segan silu nak perkenalkan semula GST. Walaupun dulu, Bagan dan saya tak ingat, Menteri Komunikasi, Timbalan Menteri Komunikasi menyanyi A-B-C-D-G-S-T, Ya. Apa salahnya guna nama cukai madani, tapi kita letaklah dengan kadar yang lebih rendah, tiga peratus ke?
Seorang Ahli
[Berucap tanpa menggunakan pembesar suara] Kulai.
Tuan Wan Ahmad Fayhsal bin Wan Ahmad Kamal - Machang
Ya, Kulai, Yang Berhormat Kulai ya. Jadi, ini cadangan daripada kami. Be bold in reform, bukan takut-takut ya. Dan keempat, kalau kita lihat KDNK masih berkembang, tetapi sektor sebenar ekonomi sedang mengalami tekanan, ya. Manufacturing kita sedang mengeluh di bawah. Kadar sumber api yang begitu tinggi, 87 peratus menghilang, menyatakan keadaan sama ada semakin buruk atau tidak bertambah baik. Jadi, di mana intervensi strategi kerajaan?
Dan yang terakhir, saya nak terangkan di sini. Saya buat seruanlah kepada kerajaan.
Ya, alarm sudah berbunyi lama, tapi kita tetap tekan snooze di tepi bantal kita tiap-tiap hari.
Sudah tiba masanya kerajaan hari ini mengambil pendekatan yang jitu dan tepat berkenaan dengan kedaulatan tenaga. Ya, saya setuju, baguslah Yang Berhormat Menteri meneruskan apa yang dibuat oleh mantan Menteri Ekonomi, NETR itu.
Tapi, yang paling penting saya nampak di sebalik pelan peralihan tenaga ini ialah perlunya Malaysia mengambil langkah yang lebih tepat dan berani untuk kita melancarkan pelan pembangunan jana kuasa nuklear negara kita yang pertama sebagai salah satu tunjung penyelesaian kepada krisis kedaulatan tenaga.
Sebab kita lihat, nak buat jana kuasa nuklear ini bukan sekejap, dia ambil masa belasan tahun. Jadi, nak sampai tahap itu, kalau kita masih lagi delay, masih lagi tangguh dan tangguh, akhirnya bila berlaku setiap 10 tahun krisis ekonomi, kita akan ulang skrip yang lama, skrip yang sama. Rakyat merana, kerajaan terus nak potong belanjawan Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pendidikan.
Tuan Wan Ahmad Fayhsal bin Wan Ahmad Kamal - Machang
Ini tidak patut Tuan Yang di-Pertua. Sepatutnya potong belanjawan Menteri yang ke luar negara kerap sangat ni, yang bawa banyak sangat entourage, entourage yang ada pada hari ini.
Jadi Tuan Yang di-Pertua, di pihak pembangkang, kami menyeru libatkan kami dalam kerangka menyelesaikan masalah ekonomi rakyat, sesuai dengan seruan whole-of- government approach. Apa salahnya? Di peringkat kami pun ramai pakar-pakar di sini yang boleh membantu demi Malaysia yang tercinta.
Jadi Tuan Yang di-Pertua, saya menyeru kerajaan ambil serius teguran-teguran kami demi menyelamatkan anak bangsa kita. Terima kasih.
[Tepuk]
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Terima kasih Yang Berhormat Machang. Pembahas yang terakhir, dipersilakan Yang Berhormat Merbok.
Tuan Mohd Nazri bin Abu Hassan - Merbok
Baik, terima kasih Tuan Yang di- Pertua. Assalamualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh dan salam sejahtera.
Tuan Yang di-Pertua, terima kasih atas peluang membahaskan isu bekalan global yang terus memberi kesan kepada ekonomi negara khususnya terhadap keselamatan makanan, kos sara hidup dan daya saing industri tempatan. Walaupun gangguan rantaian bekalan global berpunca dan bermula daripada faktor luaran seperti pandemik COVID-19, konflik geopolitik seperti yang berlaku sekarang perang Iran–Iraq, perubahan iklim dan ketidaktentuan perdagangan antarabangsa. Persoalan yang utama yang perlu dijawab ialah sejauh manakah Malaysia benar-benar bersedia menghadapi kejutan bekalan pada masa hadapan?
Tuan Yang di-Pertua, pertama, Malaysia masih mempunyai bergantungan yang tinggi terhadap import bagi beberapa makanan asas dan input pertanian. Negara masih mengimport sebahagian besar bekalan beras, hampir keseluruhan jagung bijirin untuk makanan ternakan serta sebahagian besar baja dan bahan mentah pertanian.
Memandangkan negara mengimport lebih 60 peratus bekalan makanan, maka keadaan ini menyebabkan negara amat terdedah kepada turun naik harga dunia, sekatan eksport oleh negara pembekal dan gangguan logistik antarabangsa.
Persoalannya, apakah pelan jangka panjang kerajaan untuk mengurangkan kebergantungan ini? Adakah sasaran tahap sara diri, self-sufficiency level (SSL) dengan izin benar-benar mampu dicapai mengikut garis masa yang telah ditetapkan?
Tuan Yang di-Pertua, negara masih berhadapan dengan kos logistik dan pengangkutan yang tinggi berbanding beberapa negara jiran di rantau ASEAN. Kos pengangkutan yang tinggi bukan sahaja meningkatkan harga makanan dan barangan keperluan, malah menjejaskan daya saing pengeksport tempatan, kecekapan pelabuhan, kesesakan jalan raya, kekangan rantaian rel kargo serta kos penghantaran domestik masih menjadi cabaran yang perlu ditangani dan secara menyeluruh.
Sekiranya kos logistik tidak dapat dikurangkan, pengguna akhirnya akan terus menanggung kenaikan harga, manakala perusahaan tempatan akan terus berdepan tekanan kos operasi.
Tuan Yang di-Pertua, tahap automasi dan pendigitalan dalam kalangan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) masih belum mencapai tahap yang memuaskan. Ramai usahawan kecil masih bergantung kepada proses manual, mempunyai akses yang terhad kepada teknologi digital serta berhadapan dengan kekangan modal untuk melaksanakan automasi. Sedangkan dunia kini bergerak ke arah penggunaan kecerdasan buatan (AI), Internet of Things, dengan izin analytics data dan automasi pintar bagi meningkatkan produktiviti serta mengurangkan gangguan dalam rantaian bekalan. Jika PMKS terus ketinggalan, jurang produktiviti di antara syarikat besar dan kecil akan menjadi semakin melebar.
Tuan Yang di-Pertua, Malaysia masih mempunyai kebergantungan yang tinggi terhadap tenaga kerja asing dalam beberapa sektor strategik termasuk pertanian, pembinaan, pembuatan dan logistik. Gangguan kemasukan pekerja asing telah membuktikan bahawa pergantungan yang berlebihan boleh menjejaskan operasi industri serta mengganggu bekalan makanan dan barangan asas. Oleh itu, dasar jangka panjang perlu memberi penekanan kepada automasi, mekanisasi serta pembangunan tenaga kerja tempatan yang lebih berkemahiran agar ekonomi negara menjadi lebih berdaya tahan.
Tuan Yang di-Pertua, bagi memperkukuhkan daya tahan negara menghadapi krisis bekalan global ini, saya ingin mengemukakan beberapa cadangan.
Yang pertama, kerajaan perlu mempercepatkan pelaksanaan strategi keselamatan makanan negara dengan menetapkan sasaran tahap sara diri (SSL) yang lebih jelas, telus dan boleh diukur. Setiap komoditi strategik seperti beras, ayam, sayur-sayuran, ikan dan makanan ternakan perlu mempunyai pelan tindakan disertai indikator prestasi utama (KPI), garis masa serta laporan kemajuan bekalan kepada Parlimen.
Kedua, kerajaan perlu meningkatkan pelaburan dalam penyelidikan dan pembangunan iaitu R&D terhadap pertanian. Penyelidikan terhadap benih yang lebih tahan perubahan iklim, penggunaan tenaga pertanian pintar, automasi ladang serta pengairan moden serta pembangunan pertanian berasaskan data perlu dipercepatkan supaya hasil pengeluaran tempatan dapat dipertingkatkan.
Ketiga, kerajaan perlu menggalakkan pembangunan industri input tempatan khususnya pengeluaran baja, makanan ternakan serta komponen strategik yang masih banyak bergantung kepada import. Pembangunan industri ini bukan sahaja meningkatkan keselamatan bekalan makanan, malah membuka peluang pekerjaan serta mengurangkan pengeluaran mata wang negara.
Tuan Yang di-Pertua, krisis bekalan global bukan lagi isu sementara tetapi merupakan cabaran struktur yang memerlukan pembaharuan secara menyeluruh. Negara perlu membina rantaian bekalan yang lebih berdaya tahan, memperkukuhkan pengeluaran domestik, mengurangkan kebergantungan kepada import serta meningkatkan penggunaan teknologi dalam semua sektor ekonomi.
Merbok menyokong segala usaha yang benar-benar memperkukuhkan keselamatan makanan dan ekonomi negara. Namun, kerajaan perlu memastikan setiap dasar disertai sasaran yang jelas, pelaksanaan yang berkesan, pemantauan yang telus dan hasil yang boleh diukur. Tanpa pembaharuan yang menyeluruh, Malaysia akan terus terdedah kepada kejutan bekalan global dan akhirnya memberi kesan kepada kos sara hidup rakyat dan daya saing ekonomi negara. Sekian, terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Terima kasih Yang Berhormat Merbok. Dengan sedemikian, tamat sesi perbahasan dan pandangan oleh Yang Berhormat-Yang Berhormat. Sekarang tiba masa Yang Berhormat Menteri untuk menjawab. Saya benarkan 12 minit. Silakan Yang Berhormat Menteri.
Menteri Ekonomi - Tuan Haji Akmal Nasrullah bin Mohd Nasir
Terima kasih Dato’ Yang di-Pertua, terima kasih kepada lima orang Ahli Parlimen yang telah mengambil bahagian dalam perbahasan sebentar tadi ataupun lebih kepada pertanyaan dan juga cadangan yang dikemukakan.
Saya mulakan dengan soalan yang ditanya oleh YB Kampar dan sebab ada beberapa perkara yang sebenarnya bertindih dengan pertanyaan-pertanyaan yang datang kemudiannya. Pada masa yang sama juga, tumpuannya adalah pada isu substantif yang kita boleh terangkan di sini.
Dari segi bagaimana untuk kita menilai soal perkembangan ekonomi semasa. Kalau kita lihat kekuatan dari segi bacaan makro di peringkat kerajaan, data-data ini biasanya diperoleh selepas proses itu selesai. Contohnya bila kita kemukakan angka inflasi, ia nya dapatan mungkin selepas sebulan ataupun tiga minggu selepas bulan berkenaan. Pada masa yang sama, bila berlaku krisis maka kita perlu mendapatkan bacaan itu pada peringkat yang paling awal supaya kita mengetahui keadaan sebenar dan juga kita juga melihat bagaimana intervensi yang boleh dilakukan.
Jadi, contohnya melalui MTEN itu, kita bukan sekadar mendapat pandangan daripada agensi-agensi yang berkaitan, kita juga sebenarnya melibatkan perbincangan.
Antaranya sebagai contoh, Persekutuan Persatuan-persatuan Penternak Malaysia (FLFAM), Persatuan Industri Baja Malaysia (FIAM), Persekutuan Pengilang-pengilang Malaysia (FMM) yang mana dia ada survei yang dikeluarkan, Persatuan Biodiesel Malaysia (MBA) dan pelbagai lagi persatuan (association) dan juga pihak daripada industri.
Jadi, bila melihat kepada krisis ini yang disebut Bachok juga mengatakan tadi, adakah bacaan itu hanya berlegar kepada makro semata-mata. Kita sebenarnya tengok juga bacaan yang berlaku di peringkat industri kerana intervensi yang perlu dilakukan dan memahami keadaan ketika itu memang kita perlu membaca dengan menyeluruh.
Tetapi perkara yang kedua dalam menentu pakai tindakan yang boleh diambil, sebagai contoh bila berlaku yang kita perlu putuskan bila berlaku kos pengeluaran yang naik tinggi akibat kos tenaga. Perkara ini bila dinilai dari satu persatu, sebagai contoh di peringkat kerajaan bila kita laksanakan skim SKDS, skim diesel yang menumpukan kepada sektor logistik, perkara itu sepatutnya mencakupi sebahagian besarnya kos logistik yang berlaku dalam menguruskan pergerakan logistik.
Tetapi pada masa yang sama, apabila kos-kos kenaikan ini kita pantau secara dekat, kita juga kena menilai juga keadaan perkembangan pasaran tenaga global. Dan dalam keadaan sekarang ini, pada bulan Jun, kita juga dapat lihat bagaimana dalam tempoh dua tiga minggu ini, memang kos tenaga dari segi harga brand itu telah jatuh di bawah USD80 dan hari ini mencecah sehingga USD70.
Menteri Ekonomi - Tuan Haji Akmal Nasrullah bin Mohd Nasir
Maka, sebab itu intervensi yang kita nyatakan itu berteraskan kepada empat perkara iaitu pertama kita nak menjamin bekalan itu ada. Yang kedua, kita menilai bagaimana kita nak meregangkan ataupun memanjangkan bekalan itu supaya kita dapat tingkatkan daya tahan kita. Yang ketiga, sudah pasti untuk memastikan input-input yang kritikal kita ada dalam peringkat industri supaya perkara itu dapat membolehkan aktiviti ekonomi ini terus berlaku.
Dari segi isu yang berkaitan kepada keadaan kekuatan tenaga kita. Yang dinyatakan tadi sudah pasti ada ketika yang kita lihat soal ketika ini bersifat lebih kepada jangka pendek tetapi juga tumpuan kepada jangka panjang. Yang mana sepertimana Yang Berhormat Hulu Langat tadi mencelah yang mengatakan bahawa usaha untuk kita terus meningkatkan bekalan tenaga itu perlu digerakkan walaupun labanya ataupun kesannya mengambil masa beberapa tahun untuk direalisasikan.
Jadi, sebab itu dari segi komitmen kerajaan terhadap NETR sebagai contoh, memang kita menyatakan bahawa dalam keadaan kita ke arah peralihan tenaga, sumber gas itu akan menjadi tenaga transisi dan kita juga telah bagi komitmen untuk tidak meluluskan pembukaan IPP baharu yang berteraskan arang batu. Maka, keperluan gas itu perlu terjamin.
Pada masa yang sama, seperti cadangan Yang Berhormat Machang. Dalam soal penggunaan tenaga nuklear sebagai contoh. Itu adalah perkara yang diberikan pertimbangan oleh kerajaan, malah komitmen itu telah dinyatakan dari kesediaan kita untuk memastikan base load ataupun bekalan tenaga yang konsisten ini dapat kita jana, terutamanya daripada sumber boleh diperbaharui, di mana agak limited dari segi base load-nya tetapi dari segi tenaga bersih itu, tenaga nuklear merupakan salah satu sumber yang perlu kerajaan usahakan. Dari segi bagaimana...
Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee - Beluran
Menteri.
Tuan Haji Akmal Nasrullah bin Mohd Nasir
Ya.
Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee - Beluran
Adakah kerajaan juga memantau kesan penurunan harga minyak dunia diterjemahkan kepada harga penurunan harga logistik, pengimportan barang makanan dari luar? Adakah ini dipantau dan adakah ia penurunan itu diselaraskan kepada penurunan harga yang berkaitan dengan pengeluaran bahan makanan?
Terima kasih.
Tuan Haji Akmal Nasrullah bin Mohd Nasir
Terima kasih YB Beluran. Jadi, sebab itu dari segi kesan sebagai contoh bila berlaku penurunan yang mana kita lihat sekali pun dari segi satu perkara soal sama ada kenaikan harga barang itu melambung naik ketika berlakunya krisis. Kalau kita lihat dari segi bacaan di peringkat dunia, sebagai contoh bila sebut inflasi, dunia mengunjurkan inflasi di peringkat global sekitar 4.3 peratus iaitu kesan yang sangat ketara kepada pihak pengguna dari segi kos bahan.
Tetapi di Malaysia ini, apabila kita terus mengekalkan dari segi bantuan melalui sama ada subsidi BUDI95 ataupun diesel melalui SKDS, itu mengekang kenaikan yang terlalu ketara. Tetapi pada masa yang sama, apabila harga itu menunjukkan trend menurun, maka di sini adalah peluang untuk kita pastikan yang mana ada adjustment yang berlaku ketika tempoh hari sama ada penurunan itu berlaku seiring dengan kos tenaga yang semakin menurun.
Jadi, perkara ini memang di pihak KPDN perlu memastikan dari segi tidak berlakunya elemen pencatutan, elemen untuk mengambil kesempatan untuk mengelakkan beban itu diserahkan kepada pengguna dalam keadaan kos operasi itu telah mula menurun. Jadi, sebab itu dari segi peranan yang kita lihat kepada pihak PMKS sebagai contoh. Tumpuannya utama adalah untuk memastikan aliran tunai itu terus berada di peringkat mereka. Maka, sebab itu di peringkat Bank Negara telah menyediakan dana sebanyak RM5 bilion. Lebih 1,000 PMKS telah mengguna pakai dengan nilaian lebih kurang RM700 juta yang telah diluluskan tetapi kita juga bersedia untuk terus menampung kesan yang mungkin syarikat- syarikat ini memerlukan sedikit lebih masa untuk pulih ini dalam keadaan dana itu masih tersedia.
Yang Berhormat Machang.
Tuan Wan Ahmad Fayhsal bin Wan Ahmad Kamal - Machang
Yang Berhormat Menteri, saya rasa apa yang Yang Berhormat Menteri cuba rumuskan semua terkawal.
Baguslah. Makna ada optimisme di situ. Cuma, keadaan di Hormuz ini tak selesai dan takkan selesai. Melihat pergolakan yang sedang berlaku, escalation masih lagi akan berterusan dan apa yang kita sedang tuai ketika ini adalah apa yang berlaku enam bulan dahulu. Kita nak tahu saat ini, what will happen from next one year, dengan izin. Boleh tak Yang Berhormat Menteri jelaskan pada rakyat apa game changers yang Kerajaan MADANI nak bawa menyelesaikan masalah ini? Terima kasih.
Tuan Haji Akmal Nasrullah bin Mohd Nasir
Terima kasih Dato’ Yang di-Pertua.
Machang dia ubah-ubah. Tadi cerita 90-an punya dinamik yang mana kekangan hari ini betul.
Kekangan yang ada pada hari ini berbeza. Kali ini bertukar lagi goal post. Ini nak cerita bertukar dia punya naratifnya.
Cuma, di sini dari segi kekuatan yang kita nak bina yang mana saya rasa sepertimana YB Kampar nyatakan yang saya akan cuba rumuskan di sini. Kita tidak boleh bergantung dengan keadaan yang sedia ada. Kalau untuk kita nak meningkatkan daya tahan yang lebih baik, kekuatan dari segi kedudukan kita dalam rantaian kedudukan ekonomi itu perlu ditingkatkan.
Sebab itu dari segi fokus dalam Rancangan Malaysia lima tahun— dia tanya tadi dalam keadaan yang akan datang, lima tahun, 10 tahun yang akan mendatang ini. Soal peralihan tenaga kita tak berganjak kerana kita tahu bahawa ada negara-negara apabila berlaku tekanan yang berlaku ini, mereka terpaksa menukar kesesuaian dari segi keutamaan mereka kerana kesan krisis ini menyebabkan mereka terpaksa berganjak dengan hala tuju jangka panjang.
Ketika ini, kita terus bertahan untuk memberi komitmen peralihan tenaga itu perlu berlaku kerana bila sebut peralihan tenaga, ia bukan semata-mata sudut untuk ke arah net zero menjelang seawal tahun 2050 tetapi dengan adanya peralihan tenaga, kita tingkatkan keupayaan dan kekuatan daya tahan, termasuk di peringkat domestik. Contohnya, bila dia sebut tadi soal macam mana kita nak menyusun soal gas sebagai transisi tenaga kita. Harap Machang nampak usaha kerajaan ketika ini, kita pelbagaikan lagi sumber dan sebagainya walaupun ketika ini kita masih next exporter untuk gas.
Pada masa yang sama, kita tahu juga ke arah bila sebut tenaga — ke arah pelan tenaga. Contohnya, penggunaan solar. Solar itu juga bergantung pada kekuatan domestik dalam menjana tenaga daripada kita bergantung pada sumber yang perlu dibekalkan dari secara berkala dan sebagainya. Cuma perkara kedua dari segi meningkatkan daya tahan negara, kita kena betul-betul komited ke arah HGHV (high-grow high-value) industri supaya kita tidak bergantung pada nilaian yang rendah ataupun sederhana selama-lamanya.
Maka, sebab itu sebagai contoh bila kita soal, bercakap soal semi konduktor, Malaysia bukan orang baru dari segi semi konduktor ini di peringkat global tetapi kekuatan kita ini masih bergantung pada back end ataupun kedudukan di rantaian yang agak rendah untuk keseluruhan semikonduktor.
Maka, intervensi yang kita boleh buat— walaupun Machang sebut, mana fiskal nak cari dengan kekangan, dahulu negara kaya sekarang semakin menyempit dan sebagainya.
Kita perlu buat intervensi yang lebih memberi nilaian pulangan yang lebih tinggi termasuk membawa dari segi akses kepada IP itu sendiri. Dari segi bagaimana kita untuk penetrate ataupun menembusi ke arah front end ataupun peringkat penciptaan dari segi semi konduktor.
Maka, sebab itu the game changer is happening now, dengan izin Yang di-Pertua.
Perubahan mengubah kekuatan ekonomi negara ini bukan terletak di bahu saya, dua, tiga bulan nak mengubah tetapi pembaharuan ini telah dibawa oleh kerajaan pada hari ini dan kesinambungan yang kita ada ini sepatutnya tidak menjadi satu titik pertembungan politik semata-mata.
Maksudnya, usaha sebagai contoh HGHV ini kena dipikul bersama untuk tempoh lima, 10 tahun mendatang supaya akhirnya sebagai contoh bila saya nyatakan bila kita nak award 19 token untuk unlimited punya kerjasama, yang ini sebagai contoh target dia by 2030, perlu ada cip yang direka dan dihasilkan oleh negara kita.
Tuan Haji Akmal Nasrullah bin Mohd Nasir
Jadi, sebab itu komitmen ini sebenarnya bukan terikat ketika krisis semata-mata. Tapi kalau dari segi nak bertembung soal terma dan sebagainya, memang peperangan itu berlaku.
Israel, Amerika— bukan sekadar Iran yang diserang, termasuk Lubnan dan sebagainya.
Kesannya sebagai contoh kepada Selat Hormuz, ia nya sebenarnya mengubah keadaan itu dalam keadaan bukan Malaysia sahaja, tetapi negara-negara lain juga dah berpandangan kita tidak boleh bergantung kepada penggunaan Selat Hormuz semata-mata. Kerana itu, kalau kita lihat, bila kita berhubung dengan negara-negara berhampiran, paip-paip gas yang dirancang di benua berkenaan pun sedang berubah.
Jadi, sebab itu keadaan dari segi membina kekuatan daya tahan negara ini, kita tidak boleh hanya selesa dengan keadaan yang ada pada hari ini. Saya setuju dari segi penggunaan subsidi. Adakah ia nya akan menyelesaikan semua masalah, tidak? Tetapi pada masa yang sama, ketika berlakunya krisis, maka perkara itu perlu diuruskan secara bersama.
Sandakan ada sebut dari segi kuota bagaimana di Sabah dan Sarawak. Ini proses libat urus berlaku antara Kerajaan Persekutuan dan juga bersama Kerajaan Negeri Sabah dan Kerajaan Negeri Sarawak untuk mencari jalan yang terbaik. Machang bangkitkan dari segi proses yang berlaku. Kita juga dah duduk antara yang paling awal bersama dengan Select Committee Parliament, Bachok ada bersama. Machang mungkin boleh tanya Bachok, sebab itu Bachok lebih rasa hormat. Bila bercakap, dia tahu kita tumpukan kepada usaha ini.
Tuan Wan Ahmad Fayhsal bin Wan Ahmad Kamal - Machang
[Ketawa]
Tuan Haji Akmal Nasrullah bin Mohd Nasir
Yang dinyatakan soal bagaimana kita menguruskan dari segi tenaga kerja. Yang Bachok nyatakan betul, itu nilai untuk 40,000 ini tahun ini. Tetapi, angka menunjukkan— statistik menunjukkan jumlah dari segi kehilangan pekerjaan tertinggi sebenarnya berlaku pada bulan Januari. Itu satu statistik yang kita kena faham kerana perubahan ataupun struktur yang berlaku di peringkat majikan itu yang paling besar kehilangan pekerjaan itu bulan Januari.
Tetapi, kita juga kena nilai bukan sahaja soal melihat kadar pengangguran yang berlaku, soalan yang lebih besar juga yang kita kena tanya bersama dalam soal tenaga kerja, adakah syarikat-syarikat ini masih mengambil pekerja. Itu yang dibimbangi sebab sebagai contoh bila dinyatakan operasi syarikat terpaksa dihentikan, itu selalu yang ditohmah.
Memang ada operasi yang terpaksa dikendurkan. Ada syarikat yang mengeluarkan hasilnya susu, tetapi ketika kemuncak krisis itu terpaksa hentikan selama seminggu kerana bahan untuk mempaketkan susunya itu tidak ada, plastiknya tidak ada. Tetapi kekuatan ini mencari dari segi menguruskan rantaian input, bahan-bahan input, berapa banyak dari segi inventori yang perlu ada dalam negara, berapa banyak yang sebenarnya kita kena cambahkan lagi dari segi negara-negara yang kita bergantung harapnya. Sebab tidak semua perkara itu datangnya daripada Malaysia.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Yang Berhormat, sila gulung.
Tuan Haji Akmal Nasrullah bin Mohd Nasir
Jadi...
Tuan Wan Ahmad Fayhsal bin Wan Ahmad Kamal - Machang
Yang Berhormat.
Tuan Haji Akmal Nasrullah bin Mohd Nasir
Dato’ Yang di-Pertua, di peringkat kerajaan sudah pasti kita melihat krisis ini— Dato’ Yang di-Pertua sudah sebut untuk gulung...
Tuan Wan Ahmad Fayhsal bin Wan Ahmad Kamal - Machang
Sikit, sikit.
Tuan Haji Akmal Nasrullah bin Mohd Nasir
Tapi saya minta dengan hormatnya duduk supaya inilah— sebab Machang dah ada tiga kali berbahas hari ini, kita bagi ruang.
Cuma Dato’ Yang di-Pertua, sebagai untuk merumuskan dari segi apa yang kerajaan lakukan, sudah pasti kita kena melihat pertimbangan untuk mengimbangi beberapa cabaran sama ada untuk terus memastikan kelangsungan kebajikan rakyat itu terus terpelihara, bukan mudah.
Maksudnya bila disebut tadi, memang kita terus mencari jalan, dari semasa ke semasa sekiranya krisis ini tiba-tiba melarat. Contohnya, tiba-tiba berlaku keadaan yang di luar kawalan, adjustment itu terpaksa dibuat. Tetapi ketika ini, bila krisis itu semakin mereda— sebab saya bercakap daripada konteks ekonomi.
Saya tak nak cerita perang ekonomi selalu melibatkan trade dan sebagainya, sekarang ini adalah berkaitan dengan ekonomi yang mana kalau Dato’ Yang di-Pertua, usaha kita ini juga kita perlukan kerjasama semua pihak. Kalau Machang, lebih mudah bercakaplah.
Nasib baik dari segi pandangan itu saya terima, dari segi ada perkara yang aib baiknya soal peralihan tenaga dan sebagainya. Tetapi pada masa yang sama, persepsi dan juga sentimen yang cuba ditimbulkan tadi bagi saya tidak bersandarkan kepada perkara substantif yang kita bincang.
Kerana akhirnya, kita kena terus cari jalan yang lebih proaktif. Kita kena terus meningkatkan daya tahan kita kerana tanpa usaha bersepadu daripada semua pihak, bimbangnya kalau keadaan itu memberi kesan yang menyebabkan negara terpaksa berubah pembawaan, terutamanya dalam keadaan kita ke arah pembangunan ekonomi yang lebih menyeluruh, lebih jangka panjang.
Saya rasa cukup sekadar itu Dato’ Yang di-Pertua, terima kasih kepada Ahli-ahli Parlimen yang mengambil bahagian dalam sesi ini. Sekian, assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Yang Berhormat, sekarang selesailah sesi penerangan daripada Yang Berhormat Menteri Ekonomi.
Yang Berhormat Menteri untuk mengemukakan rang undang-undang tersebut.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) - Dato’ Sri Azalina binti Othman Said
Terima kasih Dato’ Yang di-Pertua. Saya mohon mencadangkan supaya Rang Undang-undang Kesalahan-kesalahan Seksual terhadap Kanak-kanak (Pindaan) 2026 dibacakan untuk kali kedua sekarang.
Dato’ Yang di-Pertua, sejak Akta Kesalahan-kesalahan Seksual terhadap Kanak- kanak 2017 [Akta 292] mula berkuat kuasa, kerajaan telah mengambil pelbagai langkah untuk memperkukuh perlindungan terhadap kanak-kanak daripada eksploitasi dan jenayah seksual.
Namun demikian, hampir sedekad kemudian landskap jenayah telah berubah dengan ketara.
Perkembangan teknologi komunikasi, media sosial, aplikasi pesanan segera dan platform digital telah membuka ruang baru yang turut dieksploitasi oleh pelaku jenayah seksual terhadap kanak-kanak.
Keperluan pindaan ini disokong oleh fakta yang membimbangkan. Laporan The Disrupting Harm in Malaysia yang diterbitkan oleh UNICEF, INTERPOL dan ECPAT International menganggarkan lebih 100,000 kanak-kanak pengguna Internet berumur antara 12 hingga 17 tahun di dalam negara kita, pernah mengalami eksploitasi atau penderaan seksual dalam talian dalam tempoh setahun sebelum kajian tersebut dijalankan. Ancaman ini turut dicerminkan melalui peningkatan ketara bahan penganiayaan seksual kanak-kanak dan dengan izin, child sexual abuse material (CSAM).
Menurut data Internet Watch Foundation yang dilaporkan pada tahun 2025, sebanyak 16,238 laporan CSAM yang melibatkan kanak-kanak Malaysia direkodkan pada tahun 2024 meningkat lebih 225 peratus berbanding tahun sebelumnya. Dalam tempoh enam bulan pertama tahun 2025 sahaja, sebanyak 2,656— maaf, sebanyak 12,656 kes ataupun laporan telah direkodkan. Angka-angka ini menunjukkan bahawa ancaman terhadap kanak- kanak bukan lagi terbatas kepada ruang fizikal, malah semakin berkembang dalam persekitaran digital serta merentas sempadan.
Dato’ Yang di-Pertua, maklumat yang ditekankan oleh Polis Diraja Malaysia, menunjukkan bahawa jenayah seksual terhadap kanak-kanak dalam talian kini semakin kompleks. Pelaku menggunakan platform tertutup; teknologi penyulitan atau dengan izin, inscription; identiti palsu serta beroperasi merentasi pelbagai negara, sekali gus menyukarkan pengesanan, penyiasatan dan pengumpulan bukti yang pihak berkuasa memerlukan. Keadaan ini menunjukkan bahawa kerangka undang-undang sedia ada perlu diperkukuh agar mampu menangani realiti jenayah seksual masa kini.
Dato’ Yang di-Pertua, Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, Akta Kesalahan-kesalahan Seksual terhadap Kanak-kanak 2017, telah menyediakan satu kerangka perundangan yang kukuh bagi menangani pelbagai bentuk kesalahan seksual terhadap kanak-kanak. Walau bagaimanapun, pengalaman pelaksanaannya menunjukkan bahawa, terdapat keperluan untuk memperkukuh peruntukan berkaitan pemakaian luar wilayah dan dengan izin, extraterritorial jurisdiction. Pada masa ini, seksyen 3 dalam Akta 792 ini memperuntukkan bahawa kesalahan yang dilakukan di luar Malaysia, boleh diambil tindakan seolah-olah dilakukan dalam negara, sekiranya pelaku merupakan seorang warganegara Malaysia. Namun, perkembangan semasa menunjukkan bahawa skop tersebut perlu diperluaskan. Persoalannya, adakah perlindungan undang-undang Malaysia harus terhenti hanya kerana kesalahan dilakukan di luar negara atau pelaku berada di luar bidang kuasa Malaysia? Kerajaan berpendapat bahawa jawapannya mestilah tidak.
Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, sehubungan dengan itu, rang undang-undang ini mencadangkan pindaan pada seksyen 3 akta ini bagi memperluaskan bidang kuasa luar wilayah.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) - Dato’ Sri Azalina binti Othman Said
Pindaan yang dicadangkan akan memastikan bahawa akta ini bukan sahaja terpakai bagi warganegara Malaysia yang melakukan kesalahan di luar negara, malah turut meliputi pemastautin tetap Malaysia serta individu yang lazim bermastautin di Malaysia.
Pada masa yang sama, perlindungan turut diperluaskan kepada kanak-kanak yang merupakan warganegara Malaysia, pemastautin tetap Malaysia atau yang lazim bermastautin di Malaysia. Pendekatan ini akan memastikan perlindungan undang-undang yang lebih menyeluruh serta selaras dengan sifat jenayah seksual terhadap kanak-kanak yang semakin merentasi sempadan.
Dato’ Yang di-Pertua, walaupun rang undang-undang ini ringkas dari segi bentuknya, kesannya amat signifikan. Melalui pindaan ini, bidang kuasa akta akan diperluaskan supaya tindakan penguatkuasaan dapat diambil dalam keadaan-keadaan yang sebelum ini tidak diliputi oleh peruntukan yang sedia ada.
Perincian lanjut mengenai pindaan yang dicadangkan telah dihuraikan dalam naskhah rang undang-undang yang telah diedarkan kepada Ahli-ahli Yang Berhormat.
Pindaan ini menghantar mesej yang jelas bahawa Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk eksploitasi seksual terhadap kanak-kanak. Dengan izin, if you touch, you go. Tiada toleransi dan tiada kompromi terhadap mereka yang merosakkan masa depan anak-anak kita.
Kerajaan juga akan terus memperkukuh kerjasama antarabangsa serta penyelarasan domestik melalui pendekatan, dengan izin, whole-of-government approach, melibatkan agensi penguatkuasaan, pendakwaan, perlindungan kanak-kanak, keselamatan siber dan komunikasi bagi memastikan akta ini dapat dilaksanakan dengan berkesan.
Dato’ Yang di-Pertua, anak-anak kita tidak memilih untuk menjadi mangsa. Oleh itu, menjadi tanggungjawab kita bersama untuk memastikan mereka sentiasa dilindungi melalui undang-undang yang tegas, moden dan berkesan.
Dengan penuh rasa tanggungjawab dan demi kepentingan terbaik anak-anak negara kita, saya menyeru supaya semua Ahli-ahli Yang Berhormat memberikan sokongan kepada Rang Undang-undang Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak (Pindaan) 2026. Wabillahi taufiq wal hidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato' Mohd Nor
Terima kasih, Yang Berhormat Menteri. Ada sesiapa Yang Berhormat menyokong?
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) - Tuan M. Kulasegaran a/l V. Murugeson
Saya mohon menyokong.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato' Mohd Nor
Baik, Yang Berhormat.
Ahli-ahli Yang Berhormat, masalah di hadapan Majlis ialah rang undang-undang bernama suatu akta untuk meminda Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak- kanak 2017 dibaca kali yang kedua sekarang dan terbuka untuk dibahas.
Yang Berhormat–Yang Berhormat, senarai yang telah disampaikan kepada Majlis seramai 25 orang, saya akan membaca senarai ini dan perbahasan akan bermula pada jam 2.30 selepas rehat untuk solat dan makan.
Mereka yang akan berbahas adalah dimulakan oleh Yang Berhormat Bakri, Yang Berhormat Jerlun, Yang Berhormat Sri Aman, Yang Berhormat Masjid Tanah, Yang Berhormat Putatan, Yang Berhormat Bukit Gantang, Yang Berhormat Kepong, Yang Berhormat Maran, Yang Berhormat Beaufort, Yang Berhormat Parit Buntar, Yang Berhormat Jelutong, Yang Berhormat Bagan Serai, Yang Berhormat Kepala Batas.
Yang Berhormat Tampin, Yang Berhormat Kuala Krai, Yang Berhormat Padang Serai, Yang Berhormat Bukti Bendera, Yang Berhormat Tumpat, Yang Berhormat Kuala Langat, Yang Berhormat Bentong, Yang Berhormat Tanjong Karang, Yang Berhormat Pengkalan Chepa, Yang Berhormat Bukit Gelugor, berikutnya Yang Berhormat Kulim-Bandar Baharu dan yang terakhir, Yang Berhormat Putrajaya.
Dengan itu, Majlis rehat sehingga jam 2.30 untuk sambung Majlis.
[Mengetuk tukul]
[Mesyuarat ditempohkan pada jam 1.04 tengah hari]
[Mesyuarat bersambung semula pada pukul 2.30 petang]
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato' Mohd Nor
[Timbalan Yang di-Pertua (Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor) **mempengerusikan Mesyuarat****]
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
[Membaca sepotong doa] Yang Berhormat-Yang Berhormat, saya dimaklumkan ada beberapa perubahan kepada senarai. Yang Berhormat ada membuat perubahan daripada angka-angka untuk mengubah waktu untuk berbahas dan saya persetujui. Dan dengan ini saya mempersilakan Yang Berhormat Bakri untuk mulakan tirai.
Tuan Tan Hong Pin - Bakri
Terima kasih Dato' Yang di-Pertua atas peluang yang diberikan. Dato' Yang di-Pertua, pindaan kali ini telah menutup lompong Akta 792 dengan membolehkan pendakwaan terhadap pemastautin tetap yang melakukan jenayah seksual terhadap kanak-kanak di luar negara.
Sebelum ini, tindakannya hanya terhad kepada warganegara. Pindaan ini juga telah mendepani realiti bahawa jenayah seksual digital yang bersifat tanpa sempadan. Ancaman seperti online grooming dan sextortion kini melangkaui geografi, menjadikan undang-undang sedia ada ketinggalan zaman dan tidak lagi relevan. Pindaan ini juga menepati komitmen antarabangsa di bawah Konvensyen Hak Kanak-kanak PBB serta protokol yang berkaitan.
Sekali gus, telah memperkukuh kepatuhan kita terhadap piawaian global.
Oleh itu, saya menyokong rang undang-undang ini secara prinsipnya. Bagaimanapun Dato' Yang di-Pertua, RUU ini ada beberapa tempat yang perlu dipertingkatkan.
Jadi berikut adalah cadangan saya yang ingin mendapatkan penjelasan dan perhatian daripada pihak kerajaan. Yang pertama, pindaan ini meluaskan bidang kuasa luar wilayah. Namun tidak memberi perhatian atau penekanan yang secukupnya ke atas prinsip dual criminality. RUU ini tidak menjelaskan sama ada perbuatan yang sah di negara luar boleh didakwa di Malaysia.
Satu contoh, jika umur persetujuan, age of consent di sebuah negara adalah 15 tahun dan seorang warga Malaysia melakukan hubungan dengan remaja yang berumur 16 tahun di sana, adakah Malaysia boleh mendakwa pesalah itu? Tanpa kepastian sama ada prinsip duality jenayah ini akan diatasi atau dipatuhi, peruntukan ini berpotensi untuk menjadi tidak berkesan dan mudah dicabar di peringkat rayuan. Saya memohon penjelasan daripada Menteri berkenaan dengan perkara ini.
Dato' Yang di-Pertua, kanak-kanak yang paling tinggi risiko untuk terdedah ke atas eksploitasi sebenarnya bukanlah warganegara, sebaliknya anak-anak pelarian dan juga anak-anak tanpa dokumen yang sah yang hidup di bayang-bayang undang-undang. Pindaan ini hanya bergantung kepada status kewarganegaraan, sekali gus mengecualikan golongan yang sangat memerlukan perlindungan.
Kita meluaskan perlindungan ke luar negara, namun tidak memberikan perhatian yang secukupnya ke atas nasib kanak-kanak tanpa dokumen di depan mata kita. Saya meminta supaya kerajaan memberikan penjelasan bahawa bagaimanakah nasib kanak- kanak ini di bawah undang-undang baru yang akan dipinda pada hari ini?
Dato' Yang di-Pertua, kerajaan telah menyebut bahawa pindaan pada kali ini adalah respons terhadap ancaman jenayah digital. Namun, apabila kita meneliti rang undang- undang ini, hanya satu perkara yang dipinda iaitu bidang kuasa luar wilayah. Tiada peruntukan baru untuk jenayah digital, tidak ada satu penyelesaian ataupun cara untuk menangani imej dan video yang dijana oleh AI yang memaparkan gambar kanak-kanak dalam konteks seksual.
Adakah ini termasuk dalam tarif bahan penganiayaan seksual kanak-kanak? Tiada kewajipan platform teknologi untuk melaporkan terus kepada pihak polis bukan hanya kepada MCMC apabila mendapati ada kandungan CSAM ini.
Dato' Yang di-Pertua, kita sedang menggunakan undang-undang pada tahun 2017 untuk menangani jenayah yang berlaku pada tahun 2026. Kita meluaskan jangkauan geografi undang-undang ini tetapi kita membenarkan dan membiarkan kandungannya masih nampak ketinggalan zaman. Saya ingin bertanya kepada Yang Berhormat Menteri, bilakah kerajaan akan membentangkan pindaan yang lebih komprehensif untuk menangani realiti jenayah digital ini secara langsung.
Dato' Yang di-Pertua, undang-undang kita perlu jelas, menyeluruh dan boleh dikuatkuasakan. Jadi, pindaan ini merupakan satu langkah ke hadapan tetapi pada masa yang sama, ia nya juga mendedahkan betapa pentingnya dan kurangnya ada langkah- langkah dan banyak langkah yang perlu diambil.
Tuan Tan Hong Pin - Bakri
Saya berharap kerajaan dapat memberikan penjelasan yang detail bagi menjawab kebimbangan yang saya timbulkan ini. Saya juga mendesak supaya kelemahan-kelemahan ini dapat ditangani, sama ada melalui pindaan semasa perbahasan jawatankuasa ataupun melalui satu rang undang-undang yang lebih komprehensif pada masa yang terdekat. Sekian, terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Terima kasih Yang Berhormat Bakri. Berikutnya, silakan Yang Berhormat Jerlun.
Dr. Haji Abd Ghani bin Ahmad - Jerlun
*Bismilllahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.* Tuan Yang di-Pertua, Jerlun juga turut serta membahaskan RUU Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak (Pindaan) 2026 yang dibentangkan pada hari ini. Meneliti blue bill yang dipaparkan ini, hanya ada satu sahaja seksyen yang dipinda dan saya merujuk fasal 2 seksyen 3 dalam akta ibu Akta 792 digantikan dengan seksyen 3 yang baru iaitu pemakaian luar wilayah, memperuntukkan kesalahan jenayah seksual terhadap kanak-kanak, sama-sama ada dilakukan oleh warganegara Malaysia atau pemastautin tetap yang berada di luar negara.
Saya menyokong penuh pindaan RUU ini kerana jenayah seksual terhadap kanak- kanak pada hari ini tidak lagi mengenal sempadan negara. Seorang pemangsa boleh berada di luar negara tetapi mangsanya ialah kanak-kanak yang berada dalam negara kita yang tinggal di rumah, di bawah jagaan ibu bapanya tetapi keselamatan diri dan maruah mereka boleh diceroboh dengan begitu mudah. Kanak-kanak diperdayakan dengan media sosial, aplikasi pesanan, permainan dalam talian dan platform digital tanpa perlu memasuki negara kita.
Namun begitu, sokongan terhadap RUU ini perlu disertai dengan penelitian yang lebih mendalam dan komprehensif supaya pindaan yang dibuat benar-benar berkesan dan bukannya sekadar memenuhi kehendak semasa. Tanpa menggantikan seksyen 3 yang baru ini, undang-undang sedia ada tidak boleh mengambil tindakan terhadap pelaku yang berada di luar bidang kuasa Malaysia.
Sudah tentu terdapat kelompongan atau lakuna dalam undang-undang sedia ada dan pindaan dalam RUU ini adalah perlu untuk memperkukuhkan bidang kuasa extraterritorial yang disebut oleh Yang Berhormat Menteri dalam sesi penerangannya iaitu negara kita boleh memperuntukkan undang-undang bahawa seseorang yang melakukan kesalahan seksual terhadap kanak-kanak yang berada di Malaysia boleh dikenakan tindakan di bawah undang-undang Malaysia walaupun pelaku berada di luar negara tertakluk kepada syarat-syarat, undang-undang dan kerjasama antarabangsa supaya kesalahan yang menyasarkan kanak-kanak di Malaysia tetap boleh disiasat dan didakwa apabila RUU ini diluluskan nanti.
Tuan Yang di-Pertua, pindaan ini juga penting bagi memudahkan kerjasama dengan pihak berkuasa negara lain dalam perkongsian bukti digital, pengesanan identiti pelaku, pembekuan akaun dan proses ekstradisi apabila syarat undang-undang dipenuhi. Tanpa peruntukan yang jelas, penjenayah boleh mengambil kesempatan daripada perbezaan sistem perundangan antara negara.
Dalam era kecerdasan buatan artificial intelligent (AI) dan teknologi digital, ancaman seperti online grooming, pemerasan seksual dalam talian serta penghasilan atau penyebaran bahan eksploitasi seksual kanak-kanak boleh dilakukan dari mana-mana sahaja tempat di dunia ini. Oleh itu, undang-undang Malaysia perlu sentiasa relevan dengan cabaran rentas sempadan ini.
Saya merujuk laporan BERNAMA online semalam, bertarikh 28 Jun 2026 yang melaporkan bahawa Australia telah memperketatkan larangan media sosial kanak-kanak, menggandakan denda terhadap syarikat teknologi yang gagal mematuhi larangan penggunaan media sosial oleh kanak-kanak sehingga ke tahap denda maksimum iaitu dinaikkan daripada AUD49.5 juta kepada AUD99 juta. Sejak larangan berkenaan dikuatkuasakan di Australia, lebih lima juta akaun milik individu di bawah usia 16 tahun telah dinyahaktifkan atau dikenakan tindakan sekatan.
Persoalan yang saya ingin bangkitkan di sini tentang pindaan RUU ini ialah pertama, apakah mekanisme baharu dalam pindaan RUU ini yang membolehkan negara kita mengambil tindakan lebih berkesan terhadap pemangsa seksual kanak-kanak yang beroperasi dari luar negara kerana situasi ini akan menimbulkan kesulitan dari segi perhubungan antara dua pegawai melibatkan dua negara yang berbeza.
Kedua, adakah kerajaan turut memperkukuh hubungan dan kerjasama dengan agensi penguat kuasa antarabangsa seperti INTERPOL dan memanfaatkan instrumen bantuan perundangan bersama (mutual legal assistance) serta ekstradisi bagi memastikan pelaku tidak boleh terlepas atau membebaskan diri daripada dikenakan tindakan undang- undang.
Selain hukuman yang lebih tegas, aspek penguatkuasaan juga mesti diperkukuhkan.
Sebaik mana undang-undang digubal, kita telah membincangkan di Dewan ini dan meluluskannya dan ia menjadi undang-undang yang terbaik. Tetapi jika proses siasatan lambat, bukti digital gagal dipelihara dan pendakwaan tidak cekap, keadilan tetap tidak dapat diberikan kepada mangsa.
Oleh itu, kerajaan hendaklah memastikan agensi-agensi penguatkuasaan dalam negara seperti Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen, Jabatan Pendakwa Raya di bawah Jabatan Peguam Negara, Jabatan Kebajikan Masyarakat, hospital dan institusi pendidikan sama ada di peringkat sekolah ataupun di peringkat universiti mesti mempunyai penyelarasan yang lebih baik supaya setiap kes dapat dikendalikan dengan cepat dan berkesan.
Oleh itu, saya menegaskan bahawa pindaan RUU ini bukan sekadar untuk meluaskan bidang kuasa wilayah untuk meningkatkan hukuman yang lebih tegas tetapi juga untuk memastikan undang-undang Malaysia mampu menangani jenayah seksual terhadap kanak-kanak dalam negara kita yang bersifat rentas sempadan dan berasaskan teknologi digital oleh pemangsa yang berada di luar negara.
Kejayaan sesuatu undang-undang bukan diukur melalui beratnya hukuman semata- mata tetapi sejauh mana ia mampu mencegah jenayah, melindungi mangsa dan membawa pesalah ke muka pengadilan sebab kita lihat ramai anak-anak remaja umur di bawah belasan tahun ini mudah sangat diperkotak-katikkan melalui media sosial. Maka, sudah sampai masanya kerajaan bertindak tegas melalui undang-undang yang dibentangkan ini. Sekian, terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Waalaikumussalam. Dipersilakan Yang Berhormat Sri Aman.
Dato’ Sri Doris Sophia anak Brodi - Sri Aman
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Sri Aman melihat pindaan ini amat signifikan dalam memperkukuh perlindungan terhadap kanak-kanak, apatah lagi jenayah seksual hari ini sudah berleluasa dan tidak lagi mengenal sempadan negara.
Setelah meneliti RUU ini, jelas sungguh pindaan ini memperluaskan bidang kuasa luar wilayah ataupun luar sempadan Akta 792 supaya bukan sahaja meliputi warganegara Malaysia malah turut merangkumi pemastautin tetap, individu yang mempunyai pemastautin lazim di Malaysia serta mana-mana individu yang melakukan jenayah seksual terhadap kanak-kanak yang merupakan warganegara atau pemastautin Malaysia walaupun kesalahan berlaku di luar negara dan jelas ini bertujuan menutup kelompongan undang-undang dan memastikan pelaku tidak dapat melarikan diri daripada keadilan hanya kerana jenayah dilakukan di luar Malaysia.
Tuan Yang di-Pertua, jenayah seksual terhadap kanak-kanak bukan sekadar satu kesalahan jenayah. Ia turut meragut masa depan mangsa. Maka tidak sama sekali boleh diambil atau dipandang ringan. Menurut laporan PDRM, ribuan kes jenayah seksual terhadap kanak-kanak direkodkan setiap tahun manakala laporan UNICEF pula menunjukkan bahawa sebahagian besar mangsa sebenarnya mengenali pelaku mereka sendiri.
Dato’ Sri Doris Sophia anak Brodi - Sri Aman
Lebih membimbangkan, peningkatan penggunaan media sosial, permainan dalam talian dan aplikasi komunikasi telah membuka ruang kepada jenayah seperti online grooming, sextortion, pemerasan seksual dan penyebaran bahan penderaan seksual kanak-kanak
(CSAM).
Tuan Yang di-Pertua, ini bermakna seorang kanak-kanak di Sri Aman atau di Kuching atau juga di Kuala Lumpur boleh menjadi mangsa kepada individu yang berada ribuan kilometer jauhnya. Sebab itu saya menyambut baik pindaan ini kerana ia mengiktiraf hakikat bahawa jenayah seksual digital sudah menjadi jenayah rentas sempadan.
Namun demikian Tuan Yang di-Pertua, saya ingin membangkitkan beberapa kerisauan agar undang-undang ini betul-betul efektif dan mantap. Maka persoalannya, sejauh manakah kita ataupun Malaysia benar-benar bersedia melaksanakan bidang kuasa luar sempadan wilayah ini? Adakah kita mempunyai kaedah atau mekanisme kerjasama yang cukup tangkas, yang cukup pantas dengan negara-negara lain bagi mendapatkan bukti digital, menjejaki transaksi dalam talian, mengenal pasti pelaku dan membawa mereka ke muka pengadilan?
Dalam kes melibatkan bukti elektronik, kita harus ingat bahawa setiap saat itu very, very important ya, amat penting dan kritikal kerana bukti boleh dipadam hanya dalam beberapa minit sahaja ataupun beberapa saat sahaja. Selain itu, adakah PDM, Jabatan Peguam Negara dan Suruhanjaya Komunikasi dan juga Multimedia Malaysia mempunyai expertise atau kepakaran forensik digital serta sumber manusia yang mencukupi bagi mengendalikan pertambahan kes yang bersifat transnasional? Saya melihat semua ini penting jika kita betul-betul inginkan RUU ini dilaksanakan dengan efektif dan supaya tak ada loophole atau kelompongan.
Tuan Yang di-Pertua, selain itu, apa yang lebih membimbangkan ialah kesan terhadap mangsa. Efek kepada anak-anak tersebut. Ramai anak-anak yang menjadi mangsa penderaan seksual mengalami trauma sepanjang hayat dan kesan psikologi, emosi dan fizikal yang berpanjangan. Mereka perlu ataupun mereka lebih berisiko mengalami kemurungan, keresahan, gangguan dan tekanan pasca trauma atau PTSD ya, kecenderungan mencederakan diri, keciciran sekolah, malah ada yang gagal membina kehidupan berkeluarga apabila dewasa kelak akibat trauma dan fobia.
Dengan kata lain, saya melihat jenayah ini bukan sahaja memusnahkan zaman kanak-kanak mereka tetapi juga merampas masa depan mereka akibat perbuatan yang begitu keji dan zalim. Justeru, usaha kita tidak boleh berhenti setakat menangkap dan menghukum pelaku. Mangsa juga dipulihkan secara menyeluruh melalui support system seperti sokongan psikologi. Selain itu, mesti juga diberi bantuan guaman termasuk perlindungan identiti dan pemulihan jangka panjang. Semua ini penting Tuan Yang di-Pertua, agar kanak-kanak itu boleh mempunyai kehidupan yang sempurna dan masa depan yang cerah.
Sehubungan itu, saya juga ingin membukakan beberapa cadangan kepada pihak kementerian. Pertama, agar pihak kementerian atau kerajaan mewujudkan satu pasukan petugas khas jenayah, okey, jenayah seksual digital terhadap kanak-kanak yang menggabungkan PDRM, MCMC, Jabatan Peguam Negara dan juga agensi berkaitan supaya tindakan lebih pantas tersusun, bersepadu.
Kedua, memperkukuhkan kerjasama antarabangsa dalam perkongsian maklumat risikan. Bantuan bersama dalam perkara jenayah ataupun mutual legal assistant, dengan izin dan latihan forensik digital selaras dengan hasrat pindaan ini.
Ketiga, kerajaan perlu memperhebat pendidikan keselamatan digital di sekolah serta memperkasakan ibu bapa supaya mampu mengenal pasti tanda-tanda awal online grooming dan eksploitasi seksual.
Akhir sekali Tuan Yang di-Pertua, saya ingin juga bertanya kepada Yang Berhormat Menteri. Pertama, apakah indikator prestasi utama ataupun KPI yang akan digunakan bagi mengukur keberkesanan pindaan ini, khususnya dari segi jumlah siasatan, pendakwaan dan sabitan bagi kes rentas sempadan? Seterusnya, adakah kerajaan bercadang menyediakan peruntukan tambahan bagi memperkukuhkan keupayaan forensik digital, latihan pegawai penyiasat dan bekerjasama antarabangsa walaupun RUU ini menyatakan tiada implikasi kewangan secara langsung?
Tuan Yang di-Pertua, kanak-kanak tidak mempunyai kuasa yang melindungi diri mereka. Tanggungjawab itu terletak kepada kita, di bahu kita sebagai pembuat undang- undang. Maka kita semua mesti memastikan tidak kira di mana sekali pun jenayah itu berlaku seperti yang telah dikatakan sahabat saya YB Jerlun tadi dan walaupun sejauh mana pun pelakunya cuba melarikan diri, walau ke lubang cacing.
Tuan Yang di-Pertua, Malaysia sebagai sebuah negara tetap mampu menegakkan keadilan demi melindungi setiap anak-anak yang menjadi harapan masa depan negara ini.
Sekian, terima kasih. Saya mohon menyokong.
[Tepuk]
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Terima kasih, Yang Berhormat. Dipersilakan Yang Berhormat Masjid Tanah.
Datuk Wira Mas Hajah Ermieyati binti Samsudin - Masjid Tanah
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Masjid Tanah bangun untuk mengambil bahagian dalam perbahasan rang undang-undang ini dan izinkan saya nyatakan daripada awal bahawa saya menyokong 200 peratus pindaan kepada seksyen 3 Akta 792 sedia ada ini dan ini merupakan langkah yang tepat sebagaimana dengan kes Richard Huckle, rakyat Britain yang telah pulang ke negaranya setelah melakukan seksual yang dipercayai lebih kepada 200 kanak-kanak di negara kita ini dan diambil tindakan oleh undang-undang di negara Britain.
Tuan Yang di-Pertua, izinkan saya untuk merujuk kes yang pertama, 21 Jun 2026 seorang doktor pakar kanak-kanak dan juga pensyarah perubatan. Usia 41 tahun, warganegara Malaysia bertugas di Perth dan dikaitkan dengan 33 kes hubungan kelamin terhadap kanak-kanak. 33 pertuduhan ini termasuklah hubungan kelamin, penghasilan media berkaitan dan juga cubaan untuk membeli mangsa untuk tujuan tersebut dan anak yang terlibat berusia daripada 13 hingga 16 tahun. Mahkamah juga dedahkan wujudnya kamera tersembunyi dalam bilik pemeriksaan tempat kerjanya.
Kes yang kedua, 2024, tahun 2024 jangan kita lupa. Doktor pakar psikiatri kanak- kanak di Ireland, warganegara Malaysia, umur 38 tahun dipenjara lapan tahun enam bulan kerana menjalankan aktiviti child grooming serta mendera seorang remaja perempuan warga Ireland. Dia bukannya kes doktor kepada pesakit itu tapi telah diminta oleh ibu bapa mangsa untuk lihat tentang sakit anaknya dan akhirnya mangsa ini mengalami trauma yang begitu dahsyat dan juga serius.
Dan semalam, kes yang ketiga, sebelum saya tidur saya membaca satu berita tentang kes yang berlaku di Pattaya. Seorang warganegara Australia terhadap anak gadis berusia 17 tahun yang mana telah dibunuh. Pelakunya seorang warganegara Australia berdepan dengan pertuduhan membunuh, menyembunyikan mayat, memindahkan dan juga memusnahkan mayat, diletakkan mayat gadis itu dalam beg dan ditarik dan dihumbankan ke dalam semak dan dia telah pun melakukan tujuan seksual kepada mangsa tersebut.
Bayangkan sekiranya ada anak kita yang pergi ke luar negara melancong tiba-tiba diperlakukan demikian. Sebab itu Tuan Yang di-Pertua, ini adalah satu seksyen yang sangat besar kesannya kepada negara kita dan seorang kanak-kanak yang menjadi mangsa tidak akan pernah dapat lupakan sejarah hitam mereka.
Trauma ini akan menghantui sepanjang hidup mereka apabila mereka, apabila orang dewasa menjadi mangsa jenayah dia mungkin akan kehilangan wang tetapi kalau kanak- kanak, ini adalah titik hitam. Dia akan kehilangan sesuatu yang jauh lebih mahal, dia akan hilang rasa selamat, dia akan hilang rasa hormat, dia akan hilang masa depan dia, dia akan hilang percayanya mereka kepada manusia.
Dia akan hidup dalam kemurungan. Ada yang gagal dalam rumah tangga. Sebab itu Masjid Tanah berpendapat bahawa pindaan ini digubal bukan untuk menghukum mangsa ataupun pesalah secara bertindih, secara melulu tetapi untuk melihat apa kelompongan di perundangan di peringkat antarabangsa.
Yang pertamanya, adalah untuk menutup lompang undang-undang, perbezaan standard undang-undang. Setengah luar negara mungkin mempunyai takrifan jenayah yang sangat longgar, tiada undang-undang khusus untuk jenayah digital seperti online grooming dan sebagainya atau pun menetapkan had umur persetubuhan.
Dan juga mungkin boleh jadi hukuman terlalu ringan. Jika pesalah warga Malaysia melakukan kesalahan di luar negara dikenakan denda kecil ataupun hukuman penjara yang singkat bagi jenayah berat, pindaan ini boleh membolehkan mahkamah Malaysia untuk jatuhkan hukuman yang lebih setimpal sekembalinya mereka ke tanah air.
Yang keduanya isu tiada jenayah berganda. Di bawah prinsip perundangan antarabangsa bagi kes jenayah seksual melibatkan kanak-kanak, Malaysia mengguna pakai pendekatan tanpa keperluan double criminality untuk pendakwaan luar wilayah. Bermakna walaupun sesuatu perbuatan itu bukan satu jenayah di negara tempat ia berlaku tetapi pesalah tetap boleh didakwa di Malaysia sekiranya perbuatan itu merupakan satu kesalahan di Malaysia.
Dan yang ketiga, perlindungan kedaulatan.
Datuk Wira Mas Hajah Ermieyati binti Samsudin - Masjid Tanah
Melindungi kanak-kanak Malaysia yang mana memperluaskan kuasa untuk dakwa sesiapa sahaja termasuk warganegara asing yang melakukan kesalahan seksual terhadap kanak-kanak Malaysia. Jadi, ini melibatkan akauntabiliti rakyat Malaysia. Jadi, Malaysia tidak mahu warganegaranya menjadikan negara luar yang lemah dari segi perundangannya, penguatkuasaan undang-undangnya sebagai syurga untuk melakukan jenayah seksual atau pelancongan seks atau child sex tourism dengan izin, kemudian pulang ke negara kita dengan bebas tanpa rekod jenayah domestik.
Jadi yang keempat, bagaimana dengan double jeopardy sebagaimana yang telah termaktub di bawah Perkara 7(2) dalam Perlembagaan Persekutuan yang mana seorang yang telah dibebaskan atau disabitkan kesalahan tak boleh dihukum semula bagi kesalahan sama tapi dalam konteks undang-undang luar wilayah jadi biasanya boleh diteruskan.
Jadi, sebab itu saya ingin mencadangkan kepada beberapa perkara, memang dah diperkenalkan pada tahun 2025, set garis panduan pengendalian kes jenayah seksual kanak- kanak tapi kalau dapat ditambah baik dengan wujudkan unit pendakwaan jenayah seksual kanak-kanak itu lebih baik kerana kita perlukan pendakwa yang benar-benar mahir tentang memahami psikologi mangsa.
Dan seterusnya, kita memerlukan lebih ramai pakar psikologi kanak-kanak dan kaunselor utama. Setakat hari ini saya difahamkan hanya ada 30 orang pakar sahaja di facility awam. Dan ini tidak cukup dengan apa yang berlaku dalam negara kita yang terlalu banyak dan juga menakutkan kita sebagai ibu dan ayah.
Dan yang ketiga, saya ingin mencadangkan supaya kerajaan kaji semula kalau sekiranya dapat diberikan dana sokongan mangsa jenayah seksual kanak-kanak. RM20 juta yang Menteri umum tahun lepas untuk tahun ini untuk banteras jenayah tetapi ini tak termasuk dengan dana sokongan mangsa jenayah seksual.
Sebab kalau perkara yang berlaku Tuan Yang di-Pertua, ramai ibu ayah yang malu berhadapan dengan komuniti. Mereka terpaksa berpindah. Mereka terpaksa berpindah sedangkan anak-anak ramai lagi masih yang perlu bersekolah dan sebagainya. Kena bayar rawatan psikologi, kena bayar kos guaman, kena bayar banyak lagi perkara yang tak boleh ditanggung oleh mereka.
Sebab itu, Tuan Yang di-Pertua hari ini ancaman terbesar bukan hanya lagi untuk kanak-kanak ini di taman permainan tapi hari ini ancaman terbesarnya adalah cabaran digital.
Grooming, live streaming, sextortion, artificial intelligence, deepfake dan sebagainya. Sebab itu gambar seorang kanak-kanak boleh dimanipulasi dalam berapa seconds sahaja, Tuan Yang di-Pertua.
Saya harap kita tidak menunggu sampai tragedi berlaku kepada kita dan sebab itu saya ingin mendapatkan penjelasan Menteri, berapakah jumlah siasatan melibatkan kesalahan seksual terhadap kanak-kanak yang mempunyai elemen rentas sempadan sepanjang lima tahun kebelakangan ini?
Dan yang kedua, adakah Malaysia telah mempunyai mekanisme perkongsian maklumat yang lebih pantas dengan INTERPOL dan juga negara-negara ASEAN bagi mempercepatkan siasatan terhadap pesalah yang berada di luar negara?
Sebagai penutup Tuan Yang di-Pertua, setiap kali kita gagal melindungi seorang kanak-kanak bermakna seolah-olah kita membiarkan seluruh masa depannya turut musnah.
Dan saya amat berharap dengan isu ini kita bersolidariti. Saya merasa sedih tentang apa yang berlaku kes baru-baru ini seorang datuk yang telah melakukan cabul terhadap cucunya dan juga melakukan perbuatan seksual kepada cucunya dan telah pun dihadapkan ke pengadilan.
Jadi saya harap dengan kita ini janganlah kita menjadi enabler yang memberikan— menutup mata tapi kita juga sama-sama perjuangkan tentang perkara-perkara yang terkutuk ini untuk kita sama-sama memastikan negara kita selamat, komuniti kita selamat, keluarga kita juga selamat dan juga dilindungi. Itu saja, Masjid Tanah mohon menyokong. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato' Mohd Nor
Terima kasih Yang Berhormat. Berikut dipersilakan Yang Berhormat Putatan.
Datuk Ir. Shahelmey bin Yahya - Putatan
Terima kasih Dato’ Yang di-Pertua.
Putatan ingin menarik perhatian dewan yang mulia ini tentang satu sabitan yang diputuskan oleh Mahkamah Sesyen Tawau, Sabah pada Selasa minggu lepas terhadap pesalah yang menjadikan seorang kanak-kanak perempuan berusia 17 tahun sebagai mangsa jenayah seksual.
Untuk pengetahuan Yang Berhormat Menteri, pesalah yang telah disabitkan dengan hukuman pemenjaraan enam tahun tersebut merupakan seorang warganegara Indonesia berusia 20 tahun yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang menjadi mak ayam dalam satu aktiviti pelacuran di sebuah inap desa.
Kes tersebut sepatutnya membuka mata kita semua bahawa jenayah seksual yang menjadikan kanak-kanak sebagai sasaran boleh berlaku di mana-mana sahaja tanpa mengira siapa pelakunya. Lebih menggusarkan lagi, jenayah pelacuran kanak-kanak tersebut boleh mewujudkan ruang kepada anasir-anasir luar untuk merancang aktiviti pemerdagangan manusia sebagai modus operandi.
Sudah tentu aktiviti pemerdagangan manusia khususnya yang memangsakan kanak- kanak akan menjadikan sempadan negara sebagai laluan untuk menyelinap masuk ke negara-negara jiran. Oleh sebab itu, sejajar dengan pindaan seksyen 3 Akta 792 ini, agensi- agensi penguat kuasa yang dimandatkan untuk menjaga sempadan negara perlu memainkan peranan bersepadu yang lebih tegas untuk memantau sempadan negara yang berpotensi untuk dijadikan sebagai laluan jenayah.
Jadi, agensi kawalan dan perlindungan sempadan dengan kepakaran Polis Diraja Malaysia perlu mempergiatkan operasi perisikan terhadap aktiviti-aktiviti pengangkutan yang dijalankan, khususnya berdekatan sempadan negeri Sabah. Skop luar wilayah yang digariskan dalam pindaan Akta 792 ini sudah tentu akan mewujudkan cabaran penyiasatan serta penguatkuasaan yang lebih kompleks.
Agensi-agensi penguat kuasa perlu lebih peka dan proaktif untuk bertindak terhadap satu-satu laporan berkenaan jenayah yang melibatkan kanak-kanak yang berlaku di luar Malaysia. Satu-satu aktiviti jenayah yang menjadikan kanak-kanak sebagai sasaran mangsa dikhuatiri mempunyai kaitan rapat dengan sindiket eksploitasi seksual yang didalangi oleh kumpulan penjenayah yang bersarang di luar negara.
Justeru, Putatan berpendirian bahawa aspek penguatkuasaan yang perlu ditumpukan bagi maksud pindaan seksyen 3 ini hanya akan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan sekiranya agensi-agensi penguat kuasa bermandat dapat membina rangkaian kerjasama erat dengan agensi-agensi penguat kuasa di negara-negara luar. Rantaian kerjasama tersebut berupaya meningkatkan lagi keupayaan Malaysia untuk membanteras aktiviti jenayah seksual berskala global yang menjadikan kanak-kanak warganegara sebagai mangsa.
Di samping itu, aspek pemantauan terhadap aktiviti komunikasi menerusi platform- platform media sosial juga perlu diberi penekanan sejajar dengan pindaan seksyen 3 Akta 792 ini. Pengenalan akta khusus untuk mengekang jenayah siber yang bakal dibentangkan untuk bacaan kali kedua pada minggu ini, diharapkan akan menjadi complementary law kepada Akta 792 ini untuk pihak penguat kuasa tempatan melakukan siasatan berkaitan jenayah seksual terhadap kanak-kanak yang dilakukan melalui platform media sosial.
Undang-undang tersebut juga akan berupaya memperkukuh justifikasi pendakwaan berkaitan Akta 792 ini terhadap seseorang tertuduh dari luar negara yang telah melakukan sebarang bentuk komunikasi berunsur seksual dengan seseorang kanak-kanak warganegara. Selain kolaborasi penguatkuasaan, Malaysia juga perlu memainkan peranan yang signifikan untuk memperjuangkan ruang-ruang perundangan yang boleh membela hak- hak kanak-kanak menerusi platform permesyuaratan antarabangsa.
Oleh sebab itu, Putatan meletakkan harapan agar pemilihan Dato’ Yasmin Mohd Syarif yang memperoleh undian tertinggi untuk menganggotai Jawatankuasa Hak Kanak- kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi penggal 2027–2031 berupaya memperkasakan lagi peranan Malaysia dalam memerangi jenayah seksual serta penindasan terhadap kanak-kanak di peringkat global.
Dato’ Yang di-Pertua, sekian sahaja ucapan perbahasan Putatan bagi Rang Undang- undang Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak (Pindaan) 2026 ini. Putatan mohon menyokong.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato' Dr. Ramli bin Dato' Mohd Nor
Terima kasih Yang Berhormat Putatan. Dipersilakan Yang Berhormat Bukit Gantang.
Dato’ Syed Abu Hussin bin Hafiz Syed Abdul Fasal - Bukit Gantang
Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam sejahtera dan salam Malaysia MADANI.
Dato’ Syed Abu Hussin bin Hafiz Syed Abdul Fasal - Bukit Gantang
Tuan Yang di-Pertua, kanak-kanak adalah amanah negara. Bukan sekadar pewaris kepimpinan masa depan, malah merupakan golongan yang paling memerlukan perlindungan undang-undang kerana mereka tidak mempunyai keupayaan untuk mempertahankan diri daripada eksploitasi orang dewasa. Jenayah seksual terhadap kanak-kanak bukan lagi berlaku secara fizikal.
Hari ini, pemangsa menggunakan telefon pintar, aplikasi pesanan, permainan dalam talian, media sosial dan pelbagai platform digital untuk mendekati mangsa. Mereka menggunakan taktik manipulasi emosi, membina kepercayaan, menawar hadiah, memberikan perhatian dan akhirnya, mengeksploitasi kanak-kanak secara seksual.
Fenomena ini dikenali sebagai online grooming dan semakin membimbangkan.
Justeru, undang-undang juga mesti berkembang seiring dengan perkembangan teknologi.
Jika penjenayah berubah cara mereka melakukan jenayah, maka negara juga mesti mengubah cara kita melindungi mangsa.
Tuan Yang di-Pertua, Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 merupakan satu undang-undang yang sangat progresif ketika diperkenalkan. Namun, selepas hampir sedekad pelaksanaannya, pelbagai pengalaman dari pihak polis, Jabatan Peguam Negara, mahkamah, Jabatan Kebajikan Masyarakat, CyberSecurity Malaysia serta NGO telah menunjukkan terdapat beberapa ruang yang perlu diperkukuhkan.
Saya melihat pindaan ini dibuat berdasarkan pengalaman sebenar penguatkuasaan yang bukannya semata-mata atas pertimbangan teori. Ini menunjukkan Kerajaan MADANI mengambil pendekatan evidence-based policy iaitu menambah baik undang-undang berdasarkan realiti semasa. Tuan Yang di-Pertua, saya ingin menyentuh tiga perkara.
Yang pertama, perlindungan kanak-kanak perlu mengatasi kepentingan penjenayah.
Dalam mana-mana negara yang bertamadun, hak kanak-kanak untuk hidup dengan selamat mestilah mengatasi kepentingan mereka yang melakukan jenayah seksual. Kita tidak boleh lagi bertolak ansur dengan mana-mana individu yang mengambil kesempatan terhadap kanak-kanak. Setiap tohmahan dan dalam undang-undang akan dimanfaatkan oleh penjenayah. Setiap kelompongan prosedur akan dijadikan ruang untuk mereka melepaskan diri daripada hukuman. Sebab itu pindaan ini amat penting.
Yang kedua, ancaman digital semakin serius. Kita sedang berhadapan dengan generasi yang membesar bersama dengan Internet. Ramai ibu bapa yang menyangka anak mereka selamat apabila berada di dalam rumah. Hakikatnya, ancaman ini hari ini memasuki rumah melalui telefon bimbit. Kanak-kanak boleh menjadi mangsa tanpa pernah bertemu dengan pemangsa secara fizikal.
Mereka boleh dipujuk menghantar gambar, mereka boleh diperas ugut, mereka boleh dieksploitasi secara seksual tanpa meninggalkan rumah. Sebab itu pendekatan kerajaan yang memberi perhatian kepada penjenayah seksual dalam talian adalah sangat tepat.
Ketiga, hukuman mesti memberi kesan kepada pencegahan. Jenayah seksual terhadap kanak-kanak bukan jenayah biasa. Ini meninggalkan trauma sepanjang hayat.
Ramai mangsa mengalami kemurungan, ramai gagal meneruskan persekolahan, ramai menghadapi gangguan emosi sampai dewasa.
Oleh sebab itu, hukuman yang dikenakan mestilah benar-benar mencerminkan keseriusan kesalahan tersebut. Bukan bertujuan membalas dendam tapi sebagaimana pengajaran kepada masyarakat bahawa negara tidak akan berkompromi dalam isu keselamatan kanak-kanak.
Tuan Yang di-Pertua, walau bagaimanapun, saya ingin mengemukakan beberapa cadangan kepada pihak kerajaan.
Pertama, kerajaan perlu memperkukuhkan pendidikan keselamatan digital di sekolah. Anak-anak perlu diajar mengenali taktik grooming, penipuan seksual dalam talian, penyamaran identiti serta cara membuat laporan.
Kedua, saya mencadangkan supaya semua guru, kaunselor sekolah dan pegawai kebajikan diberikan latihan berkala mengenai pengesanan awal penderaan seksual. Ramai mangsa gagal dikenal pasti kerana orang dewasa di sekeliling mereka tidak mengetahui tanda-tanda awal penderaan.
Ketiga, saya berharap kerajaan dapat memperkukuhkan kerjasama dengan syarikat media sosial antarabangsa supaya kandungan eksploitasi seksual terhadap kanak-kanak dapat dipadamkan dengan lebih pantas. Perkembangan teknologi, Kecerdasan Buatan (AI) juga perlu dimanfaatkan bagi mengesan kandungan eksploitasi seksual kanak-kanak sebelum ia tersebar lebih luas.
Keempat, saya mencadangkan supaya lebih banyak peruntukan diberikan ke perkhidmatan psikologi dan pemulihan mangsa. Mangsa bukan sekadar memerlukan keadilan di mahkamah, mereka memerlukan rawatan, mereka memerlukan sokongan emosi, mereka memerlukan peluang untuk membina semula kehidupan.
Tuan Yang di-Pertua, saya ingin mengambil kesempatan menyeru seluruh masyarakat agar tidak menganggap isu pendidikan perlindungan kanak-kanak sebagai tanggungjawab kerajaan semata-mata. Ibu bapa mestilah mengetahui dengan siapa anak- anak mereka berinteraksi di Internet. Guru perlu menjadi mata dan telinga masyarakat. Jiran tidak boleh berdiam diri apabila melihat tanda-tanda penderaan. Institusi agama juga perlu memainkan peranan pendidikan. Masyarakat mempunyai tanggungjawab melindungi kanak- kanak. Dalam soal keselamatan kanak-kanak, seluruh masyarakat mesti menjadi benteng pertama.
Tuan Yang di-Pertua, Kerajaan MADANI sentiasa menegaskan bahawa prinsip kemanusiaan dan kesejahteraan rakyat menjadi asas kepada setiap dasar yang diperkenalkan. Pindaan ini membuktikan bahawa kerajaan bukan sahaja perhatian kepada pembangunan ekonomi, malah memastikan keselamatan, maruah dan masa depan setiap kanak-kanak terus dipelihara.
Undang-undang ini bukan untuk menghukum semata-mata, ia adalah mesej bahawa negara berdiri bersama mangsa. Negara memilih untuk melindungi kanak-kanak. Negara tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang mengeksploitasi mereka.
Akhir kata, saya sendiri menyatakan sokongan terhadap pindaan ini. Sekian, terima kasih. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Terima kasih Yang Berhormat Bukit Gantang. Dipersilakan Yang Berhormat Kepong.
Tuan Lim Lip Eng - Kepong
Terima kasih Dato’ Yang di-Pertua. Saya menyokong tujuan rang undang-undang ini. Namun, RUU ini masih mempunyai beberapa kelemahan penting.
Pindaan ini meluaskan pemakaian Akta 792 bagi kesalahan yang berlaku di luar Malaysia. Ia bukan sahaja meliputi warganegara Malaysia tetapi juga pemastautin tetap dan orang yang mempunyai permastautinan lazim di Malaysia. Lebih penting, ia membolehkan tindakan terhadap mana-mana orang yang melakukan kesalahan terhadap kanak-kanak yang merupakan warganegara Malaysia. Pemastautin tetap Malaysia atau mempunyai permastautinan lazim di Malaysia.
Saya menyokong perlindungan kepada kanak-kanak tetapi kuasa yang besar mesti datang bersama syarat yang jelas. Masalah pertama ialah frasa ‘mana-mana orang’. Frasa ini boleh meliputi warga asing yang berada di luar Malaysia dan mungkin tidak pernah datang ke Malaysia. Jika orang itu tidak berada di Malaysia, bagaimana dia hendak dibawa ke sini untuk didakwa? Jika negara tempat kesalahan berlaku sudah menyiasat, mendakwa atau membicarakan suspek, apakah pendirian Malaysia? Adakah pendakwaan di Malaysia masih akan diteruskan? Prinsip double jeopardy macam mana?
RUU ini tidak menjelaskan perkara asas ini. Kita tidak boleh hanya memberi kuasa atas kertas, kita mesti jelas bagaimana kuasa itu akan digunakan. Saya mencadangkan supaya pendakwaan bagi kes melibatkan warga asing memerlukan kebenaran bertulis daripada pendakwa raya.
Sebelum pendakwaan dimulakan, perlu dipertimbangkan sama ada suspek boleh dibawa ke Malaysia secara sah, sama ada negara lain sudah mengambil tindakan dan sama ada pendakwaan di Malaysia benar-benar perlu serta adil. Jika tidak, RUU ini mungkin kelihatan tegas dalam warta di atas kertas tetapi bermasalah apabila kuatkuasakan.
Masalah kedua ialah istilah ‘pemastautinan lazimnya di Malaysia'. Apakah maksud sebenar frasa ini? Adakah ia meliputi pelajar yang pernah tinggal di Malaysia tetapi kini belajar di luar negara?
Adakah ia meliputi pekerja asing yang telah lama tinggal di sini? Adakah ia meliputi seorang kanak-kanak yang baru berpindah keluar dari Malaysia? RUU ini tidak mentakrifkannya.
Tuan Lim Lip Eng - Kepong
Dalam undang-undang jenayah, istilah kabur boleh menyebabkan pertikaian, kelewatan dan risiko kes gagal. Kerajaan mesti memberikan takrif yang jelas, contohnya berdasarkan tempoh tinggal, status imigresen, tempat belajar, tempat bekerja dan tempat tinggal keluarga. Kita mesti tahu dengan tepat siapa yang dilindungi dan siapa yang boleh didakwa.
Masalah ketiga ialah pelaksanaan. Kes seksual terhadap kanak-kanak yang berlaku di luar negara bukan kes biasa. Polis mungkin perlu mendapatkan laporan perubatan, rekod perjalanan, rakaman CCTV, data telefon, bukti media sosial dan saksi dari negara lain. Siapa yang akan menyelaraskan semua ini? Apakah SOP yang akan digunakan? Bagaimana mangsa kanak-kanak akan dilindungi dan diberi sokongan? RUU ini tidak memperuntukkan apa-apa mekanisme khusus bagi perkara-perkara ini.
Lebih membimbangkan, huraian RUU menyatakan bahawa pindaan ini tidak akan melibatkan perbelanjaan tambahan kerajaan. Bagaimana siasatan antarabangsa boleh dijalankan tanpa kos tambahan? Forensik digital memerlukan wang, penterjemahan memerlukan wang, kerja siasatan di luar negara memerlukan wang, sokongan psikologi kepada mangsa juga memerlukan wang. Jangan buat undang-undang yang besar tetapi gagal menyediakan sumber untuk melaksanakannya.
Dato’ Yang di-Pertua, saya menyokong RUU ini tetapi kerajaan mesti memperbaiki tiga perkara:
(i) takrifkan dengan jelas maksud “Pemastautinan lazimnya di Malaysia”;
(ii) bagi kes melibatkan warga asing, wajibkan kebenaran bertulis daripada pendakwa raya dan jelaskan kedudukan jika suspek telah dibicarakan di negara lain; dan
(iii) sediakan SOP, pasukan khas, latihan dan peruntukan kewangan yang mencukupi.
Dato’ Yang di-Pertua, lindungi kanak-kanak― ya; hukum pemangsa― ya. Tetapi, jangan luluskan undang-undang yang nampak tegas di atas kertas tetapi kabur dan lemah dalam pelaksanaan.
Sekian, terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Terima kasih, Yang Berhormat Kepong. Selanjut, dipersilakan Yang Berhormat Tumpat.
Dato’ Hajah Mumtaz binti Md Nawi - Tumpat
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih, Dato’ Yang di-Pertua.
Saya bangun untuk membahaskan rang undang-undang pindaan Akta Kesalahan- kesalahan Seksual terhadap Kanak-kanak 2017 yang dipinda pada hari ini dan saya menghargai usaha untuk memindanya. Walau bagaimanapun, terdapat trend yang membimbangkan di kalangan mangsa hari ini di mana umur mangsa semakin hari semakin muda, malah sering melibatkan anggota keluarga itu sendiri dan kadang-kadang pemangsa juga merupakan kanak-kanak.
Oleh itu, saya mencadangkan kepada kerajaan supaya tindakan bagi kes ini dibuat secara merentasi kementerian. Iaitu, di mana, diwajibkan komponen dalam kursus pra perkahwinan Islam serta dimasukkan dalam silibus khutbah Jumaat dan khutbah nikah tentang hak dan perlindungan kepada kanak-kanak. Ini memerlukan satu dasar perlindungan kanak-kanak yang menyeluruh di semua negeri di Malaysia.
Kedua, kita kena melihat juga bagaimana penderaan mangsa secara berpanjangan.
Baru-baru ini, pada 18 Jun 2026, seorang remaja telah pun dipukul bertujuan untuk dirogol tetapi, alhamdulillah, mangsa ini berjaya menyelamatkan diri. Isunya ialah, bagaimana dalam media telah melaporkan bahawa kanak-kanak ini dirogol sedangkan dia tidak dirogol.
Jadi, pemaparan berita seperti ini patutnya diperhatikan oleh pihak kerajaan kerana ini memalukan mangsa. Sehingga hari ini, dah 11 hari, mangsa masih lagi trauma, bukan hanya kerana mukanya patah dipukul dengan kayu, tetapi trauma untuk berhadapan dengan masyarakat kerana didakwa telah pun dirogol sedangkan hal itu tidak sedemikian.
Jadi, kemurungan seperti ini harus kita atasi kerana kanak-kanak berumur 15 tahun ini merupakan seorang pelajar yang cemerlang. Akan mengakibatkan prestasi akademi yang merosot pada masa akan datang. Dan kita juga pada hari ini mencadangkan agar kemahiran mempertahankan diri secara asas perlu diperluaskan kepada kanak-kanak dan remaja sebagai langkah pencegahan.
Yang ketiga, kita melihat bahawa terdapat enam negara di dunia― di UK, di New Zealand, di France, di Germany, di Kanada, di Australia― telah menetapkan bahawa kerajaan mempunyai dana khas ataupun skim khas untuk membiayai dan memberikan pampasan kewangan kepada mangsa bagi menampung kos rawatan, pemulihan psikologi...
[Tidak jelas] pendidikan dan kecacatan kekal.
Jadi, hari ini saya menyarankan agar pindaan perlu dibuat, menambahkan peruntukan khusus bagi memberikan pampasan kepada mangsa yang perlu dibuat kerana kita lihat ini sebagai lebih lagi hukuman kepada pesalah kerana dia telah pun menyebabkan mangsa ini mengalami penderitaan kekal.
Yang keempat, jenayah seksual kanak-kanak di institusi amat membimbangkan di rumah kebajikan, di institusi agama, di institusi sukan. Ini memperlihatkan kelemahan SOP dan pemantauan serta latihan. Saya mencadangkan agar semua guru, pengasuh, kakitangan penjagaan, institusi tahfiz dan mereka yang bekerja dengan kanak-kanak diwajibkan menjalani latihan mengenai Akta Kanak-kanak dan Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Kanak-kanak sebelum diberikan sebarang lesen ataupun permit dalam menjalankan tugas.
Yang kelima, sekarang ini kita lihat satu fenomena baru pesalah bukan lagi di kalangan orang dewasa tapi juga kanak-kanak warganegara Malaysia. Kita lihat dalam TV, satu cerita di Korea, “Teach You a Lesson” telah memberikan kepada kita bahawa di sana mereka ada kanak-kanak yang menggunakan hak mereka untuk melindungi mereka daripada hukuman jenayah sedangkan mereka sendiri menjadi penjenayah.
Jadi, perkara ini kita perlu seimbangkan dengan Perkara 5 dan Perkara 29 dalam CRC. Iaitu, bukan hanya kanak-kanak diberikan pendidikan tentang hak mereka tetapi juga diberikan pendidikan tentang tanggungjawab mereka sebagai kanak-kanak. Ini perlu seimbang supaya kita tidak melahirkan penjenayah baru di kalangan kanak-kanak.
Dan saya mencadangkan juga bahawa― di Malaysia, kita telah pun ada CIC iaitu Pusat Temuduga Kanak-kanak. Namun, tempat ini terhad dan kadang-kadang tidak dapat diakses kepada kanak-kanak, terutamanya yang berada di luar bandar. Kita melihat penggunaan Model Barnahus daripada Iceland, di mana temu bual kepada kanak-kanak dibuat secara serentak melibatkan pihak polis, pendakwa raya, doktor, psikologi dan juga pekerja sosial di bawah satu bumbung. Ini akan mengurangkan trauma kepada kanak-kanak yang menjadi mangsa dan ini merupakan pendekatan terbaik yang disebut dalam United Nations. Dan yang ketujuh. Saya juga terlibat dalam pihak Parlimen sebagai JKP Wanita dan kita telah turun kepada semua OSCC. Walau bagaimanapun, bila kita turun ke OSCC di hospital-hospital, kita dapati kebanyakan hospital mempunyai kemudahan yang tidak setaraf dari segi lokasi, kurang privasi dan tidak mesra kanak-kanak. Jadi, saya mohon kepada pihak kerajaan untuk membuat audit segera kepada semua OSCC di seluruh Malaysia bagi memastikan apa sahaja pindaan kita buat hari ini dapat memberikan kemahiran dan kebajikan kepada kanak-kanak.
Dan yang seterusnya, yang terakhir, saya mencadangkan kepada pihak kerajaan untuk mendapatkan kepakaran khusus daripada kalangan pihak pegawai polis, pendakwa raya, pegawai kebajikan dan juga pegawai perubatan kerana hari ini sekalipun Jabatan Kanak-kanak telah ditubuhkan di bawah Kementerian Wanita tetapi bajet yang diberikan tidaklah banyak dan sangatlah sedikit.
Jadi, hari ini kes― kanak-kanak di Malaysia lebih kurang dalam 10 juta. Jadi, kalau kita hanya ada 30 orang pakar, kita hanya ada mungkin berbelas orang sahaja pakar-pakar daripada pelbagai jabatan. Ini tidak akan menyelesaikan masalah kanak-kanak di Malaysia, sama ada pra remaja ataupun remaja ataupun kanak-kanak di awal berada di sekolah rendah dan juga kadang-kadang melibatkan kes bayi.
Dan yang seterusnya ialah dari segi bila kita sebut tentang hari ini pindaan kepada extraterritorial jurisdiction kepada pesalah dan juga mangsa dalam kes ini. Walau bagaimanapun, kita lihat penjenayah hari ini semakin kompleks, di mana platform digital telah pun berada di seluruh tempat dan sukar untuk diakses. Penyiasatan sering tergendala kerana kesukaran mendapatkan data daripada syarikat media sosial dan aplikasi berpangkalan luar negara.
Oleh itu, kita perlu mempercepatkan mekanisme bantuan perundangan iaitu mutual legal assistance untuk memastikan bahawa saluran khas digital untuk...
[Tidak jelas] akses kepada bukti elektronik dalam kes berkaitan kanak-kanak menjadi lebih cepat dan kita tidak mahu lagi bahawa data dan pemakluman daripada masa ke semasa bahawa Malaysia merupakan antara lokasi kes seperti ini makin bertambah, dijadikan suatu tajuk berita.
Jadi, kita lihat kepada tahun 2024, kita dilaporkan bahawa terdapat kenaikan 26.5 peratus. Jadi, kita mengharapkan pindaan pada hari ini akan memberikan penyelesaian kerana anak-anak ini adalah amanah negara dan mereka akan menjadi pemimpin pada masa akan datang.
Sekian, terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Terima kasih, Yang Berhormat. Majlis dengan ini mempersilakan Yang Berhormat Beaufort.
Datuk Hajah Siti Aminah binti Aching - Beaufort
Bismillahirrahmanirrahim. Terima kasih Dato’ Yang di-Pertua kerana memberi ruang kepada Beaufort untuk turut serta membahaskan Rang Undang-undang Kesalahan-kesalahan Seksual terhadap Kanak-kanak
(Pindaan) 2026.
Pada prinsipnya, Beaufort menyokong rang undang-undang ini kerana ia merupakan langkah yang tepat dalam memperkukuhkan perlindungan undang-undang terhadap kanak- kanak, khususnya bagi menangani jenayah seksual yang semakin bersifat rentas sempadan dan didorong oleh perkembangan teknologi digital.
Pindaan ini memperluaskan bidang kuasa akta kepada pemastautin tetap, individu yang mempunyai pemastautinan lazim di Malaysia serta mana-mana individu yang melakukan kesalahan seksual terhadap kanak-kanak yang mempunyai kaitan dengan Malaysia. Ini merupakan satu perkembangan yang amat diperlukan kerana penjenayah hari ini tidak lagi dibatasi oleh sempadan negara.
Datuk Hajah Siti Aminah binti Aching - Beaufort
Dato’ Yang di-Pertua, statistik yang didedahkan amat membimbangkan. Melalui operasi bersepadu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia bersama Polis Diraja Malaysia sejak tahun 2024, lebih 1.47 juta fail yang mengandungi child sexual abuse material, dengan izin atau CSAM telah dikenal pasti.
Pada masa yang sama, hampir 100,000 kanak-kanak di Malaysia dianggarkan berisiko menjadi mangsa eksploitasi seksual secara dalam talian setiap tahun. Angka ini menunjukkan bahawa ancaman yang kita hadapi bukan lagi bersifat terpencil tetapi telah menjadi satu cabaran keselamatan negara yang memerlukan tindak balas yang pantas dan juga bersepadu.
Justeru, saya ingin— saya menyokong sepenuhnya hasrat kerajaan memperluaskan bidang kuasa akta ini. Namun begitu, kejayaan sesuatu undang-undang bukan hanya bergantung kepada keluasan bidang kuasa yang diperuntukkan tetapi kepada keupayaan negara untuk menguatkuasakan undang-undang tersebut secara berkesan.
Dato’ Yang di-Pertua, saya ingin mengemukakan beberapa persoalan kepada Yang Berhormat Menteri. Yang pertama, sejauh manakah keupayaan teknikal negara untuk mendapatkan bukti digital apabila berlaku— apabila pelaku berada di luar negara, mangsa pula berada di Malaysia manakala pelayan data pula berada di negara yang berbeza?
Adakah mekanisme kerjasama antarabangsa yang ada hari ini benar-benar mencukupi untuk memastikan siasatan dapat dijalankan tanpa kelewatan?
Kedua, adakah syarikat-syarikat platform digital antarabangsa memberikan kerjasama yang memuaskan kepada pihak berkuasa Malaysia dalam mendapatkan data serta menurunkan kandungan penderaan seksual terhadap kanak-kanak? Jika masih terdapat kelewatan, apakah langkah kerajaan bagi mempercepatkan proses tersebut demi melindungi mangsa?
Persoalan-persoalan ini penting kerana tanpa bukti digital yang mencukupi dan kerjasama rentas sempadan yang berkesan, bidang kuasa diperluaskan melalui pindaan ini mungkin sukar diterjemahkan kepada pendakwa yang berjaya.
Dato’ Yang di-Pertua, bagi memastikan pindaan ini benar-benar mencapai matlamatnya, saya ingin mengemukakan empat cadangan iaitu yang pertama, kerajaan wajar memperkukuhkan mekanisme penyelarasan antara PDRM, Jabatan Peguam Negara, Kementerian Luar Negeri, SKMM dan rakan strategik antarabangsa melalui satu protokol operasi yang jelas supaya setiap siasatan rentas sempadan dapat dilaksanakan dengan lebih pantas dan tersusun.
Dan dalam hal ini, Malaysia boleh mengambil iktibar dan daripada rangka kerja antarabangsa yang telah terbukti berkesan seperti Budapest Convention on Cybercrime, dengan izin dan mekanisme kerjasama negara-negara Five Eyes sebagai model dalam membina protokol operasi siasatan rentas sempadan yang lebih tersusun dan juga efektif.
Kedua, kerajaan perlu terus perkukuhkan kapasiti forensik digital negara melalui penambahan kepakaran, latihan pegawai dan penggunaan teknologi terkini. Hari ini, bukti utama bukan lagi sekadar keterangan saksi tetapi data digital yang memerlukan kepakaran khusus untuk diperoleh dan dianalisis.
Ketiga, Beaufort mencadangkan agar kerajaan menilai keperluan mewujudkan pasukan atau unit pendakwaan yang mempunyai kepakaran khusus dalam mengendalikan kes-kes jenayah seksual terhadap kanak-kanak yang melibatkan elemen rentas sempadan.
Kes-kes seperti ini semakin kompleks dan juga memerlukan kepakaran yang lebih tersusun.
Yang keempat, sebagai langkah memperkukuhkan akauntabiliti, kerajaan wajar membentangkan laporan tahunan kepada Parlimen mengenai pelaksanaan bidang kuasa luar wilayah di bawah akta ini. Laporan tersebut hendaklah merangkumi jumlah siasatan, pendakwaan, kadar sabitan dan bentuk kerjasama antarabangsa yang telah dilaksanakan serta cabaran yang masih dihadapi. Dengan itu, Parlimen dapat menilai sama ada pindaan ini benar-benar memberi impak kepada perlindungan kanak-kanak.
Dato’ Yang di-Pertua, akhirnya kita perlu menginsafi bahawa jenayah seksual terhadap kanak-kanak bukan lagi sekadar isu-isu domestik. Ia adalah jenayah rentas sempadan yang bergerak pantas seiring perkembangan teknologi. Kita boleh menggubal undang-undang yang baik dan memperluaskan bidang kuasa sehingga ke luar negara.
Namun, jika keupayaan siasatan digital tidak diperkasakan, kerjasama antarabangsa masih perlahan dan pelaksanaan tidak disokong oleh institusi yang cekap, maka keadilan kepada mangsa akan terus tertangguh. Beaufort menyokong Rang Undang-undang Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak (Pindaan) 2026. Sekian, terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Terima kasih Yang Berhormat. Sekarang dipersilakan Yang Berhormat Parit Buntar.
Tuan Haji Mohd Misbahul Munir bin Masduki - Parit Buntar
Assalamualaikum WBT, salam sejahtera. Bismillahirrahmanirrahim. Parit Buntar bangun mengambil bahagian dalam perbahasan Rang Undang-undang Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak- kanak (Pindaan) 2026 atas dasar tanggungjawab sebagai wakil rakyat juga takut akan amaran oleh Rasulullah SAW dalam sebuah hadisnya yang berbunyi [Membaca sepotong hadis]. Maksudnya, “Tiada seorang hamba yang telah diamanahkan oleh Allah SWT untuk menguruskan hal ehwal rakyat di bawah tanggungannya lalu tidak menunaikan amanah tersebut meskipun dengan hanya menyampaikan satu nasihat melainkan tidak dapat mencium haruman syurga”.
Pada prinsipnya, saya menyokong usaha kerajaan membentangkan pindaan ini kerana ia merupakan satu langkah yang signifikan dalam memperkukuh kerangka perundangan negara bagi melindungi kanak-kanak daripada ancaman eksploitasi dan jenayah seksual yang semakin kompleks, bersifat rentas sempadan serta dipacu oleh perkembangan teknologi digital.
Pindaan ini memperluaskan pemakaian Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 kepada kesalahan yang dilakukan di luar Malaysia oleh individu yang mempunyai hubungan substantif dengan negara ini di samping melindungi kanak-kanak Malaysia yang menjadi mangsa di luar negara.
Matlamat ini selaras dengan penerangan rasmi yang dikeluarkan oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-undang, Jabatan Perdana Menteri. Walau bagaimanapun, saya berpandangan bahawa keberkesanan suatu undang-undang tidak hanya bergantung kepada peluasan bidang kuasa atau peningkatan hukuman semata-mata. Sebaliknya, ia memerlukan pendekatan yang menyeluruh merangkumi aspek pencegahan, penguatkuasaan, kerjasama rentas negara, pemulihan mangsa serta pengukuhan institusi yang berkaitan.
Justeru, izinkan saya mengemukakan beberapa pandangan dan cadangan. Pertama, jenayah seksual terhadap kanak-kanak telah berubah sifat dan coraknya. Dato’ Yang di- Pertua, perkembangan teknologi digital telah mengubah landskap jenayah seksual terhadap kanak-kanak secara menyeluruh. Jika suatu ketika dahulu, kebanyakan kes melibatkan sentuhan fizikal atau penderaan secara bersemuka, hari ini eksploitasi seksual berlaku melalui pelbagai medium digital seperti media sosial, aplikasi pesanan segera, permainan dalam talian, penstriman langsung, penyimpanan awam dan rangkaian gelap.
Fenomena ini menjadi sempadan geografi tidak lagi menjadi penghalang kepada pelaku jenayah. Kajian yang dibuat oleh— yang dilaksanakan UNICEF mendapati bahawa hampir satu daripada tiga kanak-kanak di Malaysia yang menggunakan Internet, pernah mengalami sekurang-kurangnya satu bentuk eksploitasi atau penderaan seksual dalam talian sebelum mencapai usia 18 tahun.
Kajian tersebut turut menunjukkan bahawa sebahagian besar mangsa tidak membuat laporan kepada pihak berkuasa kerana faktor ketakutan, rasa malu dan kebimbangan terhadap stigma sosial. Satu lagi laporan menegaskan bahawa eksploitasi seksual kanak-kanak kini merupakan antara bentuk jenayah siber yang paling pesat berkembang di dunia.
Dengan peningkatan penggunaan kecerdasan buatan, teknologi pendigitalan komunikasi serta transaksi mata wang crypto yang menyukarkan pengesanan berlaku.
Hakikat ini menunjukkan bahawa undang-undang negara perlu berkembang seiring dengan perubahan modus operandi jenayah. Dalam konteks inilah peluasan bidang kuasa luar wilayah yang dicadangkan melalui pindaan ini adalah suatu langkah yang tepat dan bertepatan dengan keperluan semasa.
Yang kedua, kepentingan melindungi golongan kanak-kanak sebagai asas strategi negara. Dato’ Yang di-Pertua, menurut Statistik Kanak-kanak Malaysia 2024 yang diberikan oleh DOSM, terdapat kira-kira 9.14 juta kanak-kanak di negara ini, mewakili hampir 26.9 peratus daripada keseluruhan penduduk Malaysia. Angka ini menggambarkan bahawa hampir seorang daripada setiap tiga penduduk di Malaysia ialah kanak-kanak.
Golongan ini bukan sahaja merupakan pewaris kepimpinan negara pada masa hadapan, bahkan menjadi komponen utama dalam pembangunan modal insan negara. Oleh itu, sebarang bentuk eksploitasi seksual bukan sekadar menjejaskan kesejahteraan hidup mangsa malah memberi implikasi besar terhadap pembangunan sosial, kesihatan mental, produktiviti ekonomi serta kestabilan masyarakat dalam jangka panjang.
Yang ketiga, pindaan ini selaras dengan prinsip undang-undang antarabangsa.
Cadangan peluasan bidang kuasa luar wilayah bukanlah suatu konsep yang asing dalam sistem perundangan moden, ia merupakan prinsip yang diterima pakai dalam undang-undang antarabangsa bagi menangani jenayah yang bersifat tradisional.
Malaysia sendiri telah mengiktiraf pendekatan ini melalui beberapa akta selain daripada Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 serta beberapa peruntukan dalam Kanun Keseksaan yang mempunyai pemakaian luar wilayah.
Tuan Haji Mohd Misbahul Munir bin Masduki - Parit Buntar
Di peringkat antarabangsa, negara-negara seperti Australia, United Kingdom, Kanada dan New Zealand telah lama memperuntukkan bidang kuasa luar wilayah bagi membolehkan tindakan undang-undang terhadap warganegara mereka yang melakukan jenayah seksual terhadap kanak-kanak luar negara.
Yang keempat, menutup ruang perlindungan kepada pelaku jenayah. Dato’ Yang di- Pertua, salah satu kekuatan utama rang undang-undang ini ialah kemampuannya menutup kelompongan perundangan yang selama ini berpotensi dieksploitasi oleh pelaku jenayah seksual terhadap kanak-kanak. Sebelum pindaan ini, terdapat kemungkinan seseorang warganegara Malaysia atau individu yang mempunyai hubungan substantif dengan negara ini melakukan kesalahan seksual terhadap kanak-kanak luar negara namun terlepas daripada tindakan undang-undang apabila kembali ke Malaysia disebabkan keterbatasan bidang kuasa Akta 792. Keadaan sedemikian berpotensi mewujudkan persepsi bahawa sempadan negara boleh dijadikan tempat perlindungan daripada pertanggungjawaban penjenayah.
Dato’ Yang di-Pertua, bagi memperkukuh lagi keberkesanan pindaan ini, saya ingin mengemukakan beberapa cadangan untuk pertimbangan kerajaan. Pertama, kerajaan wajar mempertimbangkan penubuhan sebuah pusat perlindungan kanak-kanak dalam talian kebangsaan. Sebuah pusat penyelarasan nasional menghimpunkan PDRM, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia, Kementerian Pendidikan, kementerian pembangunan wanita dan juga agensi yang lain.
Yang kedua, kerajaan disaran menyediakan keperluan mewujudkan kewajipan undang-undang ke atas penyelia platform media sosial dan perkhidmatan digital untuk melaporkan dengan segera sebarang kandungan yang mengandungi eksploitasi seksual kanak-kanak kepada pihak yang berkuasa.
Dan yang ketiga, perkembangan psikologi kecerdasan buatan turut membuka dimensi baru kepada eksploitasi kanak-kanak termasuk penghasilan imej atau video seksual palsu yang menyerupai kanak-kanak. Oleh itu, kerajaan perlu menilai kesesuaian, memperkenalkan peruntukan undang-undang yang lebih khusus dan hukuman setimpal bagi menangani penyalahgunaan teknologi ini sebelum ia berkembang menjadi ancaman yang lebih serius.
Akhirnya, saya ingin menegaskan bahawa undang-undang sahaja tidak akan mampu menyelesaikan masalah ini. Hukuman hanya bertindak selepas jenayah berlaku, sedangkan yang lebih penting ialah bagaimana kita menghalang jenayah itu daripada berlaku. Islam telah menggariskan pendekatan yang sangat menyeluruh. Firman Allah SWT dalam Surah al-Isra', ayat 32 yang berbunyi, [Membaca sepotong ayat al-Quran] Maksudnya, “Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat, yakni yang membawa kerosakan”. Allah tidak hanya melarang zina bahkan melarang segala jalan yang membawa kepadanya. Inilah konsep pencegahan sebelum hukuman.
Dalam al-Quran, Allah juga berfirman [Membaca sepotong ayat al-Quran] , “Peliharalah keluarga kamu, ahli keluarga kamu, peliharakanlah diri kamu daripada api neraka”. Dan Rasulullah SAW bersabda, [Membaca sepotong hadis] , “Ketahuilah setiap kalian adalah pemimpin, kesemuanya bertanggungjawab terhadap apa yang dipimpinnya, imam adalah pemimpin ke atas orang ramai dan dia bertanggungjawab terhadap apa yang dipimpinnya”. Hadis ini menunjukkan bahawa perlindungan terhadap kanak-kanak bukan hanya tugas kerajaan tetapi amanah kepada ibu bapa, guru, jiran, masyarakat, wakil rakyat dan seluruh umat.
Saya juga mencadangkan supaya kerajaan menunai keperluan mewajibkan latihan keselamatan digital kepada ibu bapa, mempercepatkan pendakwaan ke atas seksual ke atas kanak-kanak, menambah pegawai forensik digital, meningkatkan kerjasama dengan negara- negara luar dalam memburu sindiket eksploitasi seksual rentas sempadan.
Yang kedua, pendidikan akhlak dan adab. Sekolah tidak boleh hanya menumpukan pencapaian akademik, anak-anak mesti dididik mengenai batas aurat, adab pergaulan, keselamatan diri dan bahaya eksploitasi seksual di alam maya. Budaya malu atau pun Al- Haya' yang diajar oleh Islam merupakan benteng awal daripada keruntuhan akhlak.
Rasulullah SAW bersabda [Membaca sepotong hadis] , “Malu itu adalah sebahagian daripada iman”. Yang ketiga, kawalan terhadap kandungan lucah. Saya ingin bertanya kepada pihak kerajaan, apakah langkah lebih tegas bagi menyekat akses kepada laman pornografi dan bahan eksploitasi seksual kanak-kanak yang masih mudah...
Timbalan Yang di-Pertua - Dato' Dr Ramli bin Dato' Mohd Nor
Yang Berhormat, sila gulung.
Tuan Haji Mohd Misbahul Munir bin Masduki
...Dicapai melalui Internet.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato' Dr Ramli bin Dato' Mohd Nor
Sila gulung.
Tuan Haji Mohd Misbahul Munir bin Masduki
Sedikit lagi. Keempat, memperkukuh kerjasama antara agensi. PDRM, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Kementerian Pendidikan serta penyediaan platform digital perlu mempunyai mekanisme tindakan yang lebih pantas dan bersepadu.
Dan akhirnya yang kelima, memberi perhatian kepada pemulihan mangsa.
Penutupnya— Tuan Yang di-Pertua, sebagai penutup, saya sekali lagi menyatakan sokongan terhadap Rang Undang-undang Kesalahan-kesalahan Seksual terhadap Kanak-kanak 2026 kerana pindaan ini merupakan satu langkah penting dalam menutup kelompongan bidang kuasa, memperkukuh perlindungan terhadap kanak-kanak Malaysia serta memastikan tiada pelaku jenayah seksual dapat membebaskan diri daripada tindakan undang-undang hanya kerana kesalahan tersebut dilakukan di luar negara.
Walau bagaimanapun, kejayaan sebenar itu tidak hanya bergantung pada kekuatan peruntukan undang-undang tetapi juga kepada kecekapan penguatkuasaan, keberkesanan, kerjasama antarabangsa, keupayaan forensik digital, pendidikan, pencegahan yang komprehensif serta sokongan yang menyeluruh kepada mangsa.
Marilah kita bersama-sama memastikan bahawa setiap kanak-kanak di negara ini dapat membesar di dalam persekitaran yang selamat, bermaruah dan bebas daripada sebarang bentuk eksploitasi serta keganasan seksual. Sekian, terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato' Dr Ramli bin Dato' Mohd Nor
Dipersilakan Yang Berhormat Jelutong.
Tuan Sanisvara Nethaji Rayer a/l Rajaji - Jelutong
Terima kasih Yang di-Pertua.
Saya mula dengan ungkapan salam perpaduan, salam Malaysia MADANI dan Johor ke depan, kita undi Harapan.
[Dewan ketawa]
[Dewan tepuk]
Tuan Sanisvara Nethaji Rayer a/l Rajaji - Jelutong
Yang di-Pertua, kita membincangkan satu rang undang-undang yang begitu penting untuk melindungi insan yang paling terdedah kepada jenayah yang paling terkeji seperti kesalahan-kesalahan zina, sumbang mahram dan kesalahan-kesalahan seksual.
Saya ucapkan tahniah kepada Timbalan Menteri, kepada Menteri, kepada Kerajaan Perpaduan, Kerajaan Malaysia MADANI kerana menggubal undang-undang ini yang bertujuan membawa kembali ke Malaysia mana-mana individu yang ditafsirkan sebagai pemastautin yang tetap ataupun mempunyai permastautinan lazimnya di Malaysia sekiranya melakukan kesalah seksual terhadap kanak-kanak. Syabas, tahniah tetapi saya mempunyai beberapa rungutan.
Undang-undang ini kita ingin mengambil tindakan terhadap orang-orang yang berada di luar negara, bagaimana dengan individu-individu yang melakukan kesalahan- kesalahan di Malaysia? Dewasa ini, di Malaysia banyak sangat kes-kes yang melibatkan jenayah seksual terhadap kanak-kanak. Kesalahan-kesalahan ini semakin hari semakin meningkat dan saya melihatkan kerajaan tidak mengambil tindakan yang sewajarnya untuk kita mengurangkan kesalahan-kesalahan ini. Di negara Malaysia, banyak sangat negeri-negeri di mana catatan kesalahan seksual yang begitu banyak terhadap kanak-kanak.
Saya beri contoh, saya beri contoh supaya saya tidak dituduh melanggar peraturan, mana- mana peraturan dalam buku peraturan. Satu laporan daripada Straits Times, dengan izin Yang di-Pertua, “Kelantan among states with the highest sexual crime” says Bukit Aman CID Director. Saya ada di sini.
[Sambil menunjukkan sehelai kertas] Memetik, Bukit Aman Criminal Investigation Department Director, Dato’ Sri Dato' Abdul Jalil Hassan mengatakan bahawa dengan izin, “80 percent of sexual crimes reported in Kelantan involve children”, he said after launching Kelantan police Children Interview Centre. Memalukan, sungguh memalukan. Dengan izin.
Satu lagi laporan dengan izin, Free Malaysia Today. [Sambil menunjukkan sehelai kertas] Saya ada bukti di sini supaya tidak dituduh melanggar mana-mana peraturan, saya baca “Kelantan and sexual crimes against children no solution inside”. My God! Kelantan— dan...
Datuk Dr. Radzi bin Jidin - Putrajaya
Jelutong, boleh sedikit.
Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi bin Salleh - Pasir Puteh
[Bangun]
Tuan Sanisvara Nethaji Rayer a/l Rajaji - Jelutong
Saya belum habis lagi.
Datuk Dr. Radzi bin Jidin - Putrajaya
Boleh sedikit ke?
Tuan Sanisvara Nethaji Rayer a/l Rajaji - Jelutong
Saya akan bagi, saya akan bagi, saya akan bagi. Duduk...
Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi bin Salleh - Pasir Puteh
Bagi Pasir Puteh, Pasir Puteh sikit.
Tuan Sanisvara Nethaji Rayer a/l Rajaji - Jelutong
Saya akan bagi, sabar, sabar, sabar, sabar. Dan ia juga ada juga berita kecil, “PAS's 36-year rule has failed to address a sexual crimes crisis in the state, and children remain at risk without accountability”. Sungguh memalukan.
Saya di sini ingin tanya Timbalan Menteri, Menteri, kerajaan kenapa di Kelantan begitu sangat— begitu banyak sangat kes-kes seksual terhadap kanak-kanak? Ya, kita nak ambil tindakan terhadap orang-orang di luar negara, terhadap pemastautin tetap Malaysia dan orang yang ditafsirkan permastautinan lazimnya di Malaysia tetapi bagaimana pula dengan individu-individu di Kelantan yang melakukan jenayah-jenayah seksual terhadap kanak-kanak kita? Apa tindakan? Dan, berita- berita ini diterbitkan— mujurlah ia bukannya diterbitkan oleh The Rocket, dia orang tak percaya.
Tuan Sanisvara Nethaji Rayer a/l Rajaji - Jelutong
Tapi ini diterbitkan oleh The Strait Times. Diterbitkan oleh Kelantan. Diterbitkan oleh FMT, Free Malaysia Today. So, saya ingin tanya, kenapa kita tidak menambahkan anggota- anggota polis di sana? Menambahkan lagi anggota-anggota dalam cawangan seksual jenayah kanak-kanak, untuk mengambil tindakan. Apa, apa penjelasan kerajaan? Kita nak mengambil tindakan terhadap orang di luar negara. Bagaimana pula dengan pesalah-pesalah seksual di negara kita, terutamanya di Kelantan? So, saya mahu menuntut penjelasan.
Timbalan Speaker, Menteri kena jawab. Jangan angguk kepala, Timbalan Menteri dan Menteri-menteri. Kerajaan MADANI perlu melindungi kanak-kanak kita.
Seorang Ahli
Setuju, setuju.
Tuan Sanisvara Nethaji Rayer a/l Rajaji - Jelutong
Jadi, jawapan saya sebagai Backbenchers, 11 Julai semua di Johor, Johor ke depan, kita undi Harapan, kalau tak mahu perkara ini berlaku di Johor. Betul atau tidak?
Seorang Ahli
Betul.
Tuan Sanisvara Nethaji Rayer a/l Rajaji - Jelutong
Betul atau tidak?
Seorang Ahli
Betul.
Tuan Sanisvara Nethaji Rayer a/l Rajaji - Jelutong
Terima kasih Timbalan Speaker, saya mohon menyokong.
Datuk Wira Hajah Mas Ermieyati binti Samsudin - Masjid Tanah
Tadi kata nak bagi laluan? Mana pada— bagi laluan, tak ada.
Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi bin Salleh - Pasir Puteh
Bagi laluan. Ada masa tadi.
Datuk Wira Hajah Mas Ermieyati binti Samsudin - Masjid Tanah
Cakap sembang saja.
Dato’ Rosol bin Wahid - Hulu Terengganu
Sembang jang.
Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi bin Salleh - Pasir Puteh
Sikit laluan.
Dato’ Rosol bin Wahid - Hulu Terengganu
Sembang saja besar.
Datuk Dr. Radzi Jidin - Putrajaya
Boleh Speaker? Tadi janji nak bagi laluan tadi.
Datuk Wira Hajah Mas Ermieyati binti Samsudin - Masjid Tanah
Entah.
Datuk Dr. Radzi Jidin - Putrajaya
Tak, tak menepati janji. Tak baik Jelutong.
Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi bin Salleh - Pasir Puteh
Dia tak berani, tak berani bagi laluan ini.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Yang Berhormat.
Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi bin Salleh - Pasir Puteh
Ini Jelutong sudah menghina PDRM ini.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Yang Berhormat.
Yang Berhormat.
Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi bin Salleh - Pasir Puteh
[Ketawa]
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Duduk Yang Berhormat.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Masa, kita beri kepada sorang-sorang yang untuk berbahas. Beri atau tidak, adalah kehendaknya ya. Jadi...
Tuan Haji Mohd Misbahul Munir bin Masduki - Parit Buntar
Janganlah janji.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Yang Berhormat.
Saya tengah bercakap ini. Jadi, bagi atau tak bagi itu, hak dia ya.
Baik. Kita terus kepada pembahas yang berikutnya. Dipersilakan Yang berhormat Bagan Serai.
Datuk Haji Idris bin Haji Ahmad - Bagan Serai
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Terima kasih kepada Dato’ Speaker, kerana saya akan mengambil satu perbahasan berkenaan dengan rang undang-undang pindaan Akta Kesalahan Seksual terhadap Kanak-kanak 2017.
Akta yang kita nak bincang ini, rang undang-undang yang kita nak bincang ini ialah membabitkan anak-anak kita, cucu, anak saudara kita ataupun kaum kerabat kita. Jiran tetangga kita. Mereka ini ialah merupakan insan yang tidak berdosa. Sebab itu, saya hairan, macam mana orang yang boleh bersikap demikian terhadap kanak-kanak. Sedangkan kalau kita tengok— sama juga, saya pelik juga, apabila tengok, ada manusia yang suka sejenis.
Jantan suka jantan. Perempuan suka perempuan. Ini pun pelik juga. Sama juga orang yang suka dengan kanak-kanak. Ini pun satu benda yang pelik, dan khususnya yang kita nak bincang hari ini ialah mengenai jenayah rentas sempadan yang wajar untuk kita sokong.
Lebih-lebih lagi, Malaysia telah commit dalam beberapa konvensyen antarabangsa sepertimana CRC, Convention on the Rights of the Child dan OPSC, Optional Protocol on the Sale of Children, Child Prostitution and Child Pornography. Yakni mengenai penjualan kanak-kanak dan juga pelacuran kanak-kanak dan pornografi kanak-kanak.
Namun begitu Dato' Yang di-Pertua, ada beberapa perkara yang perlu kita nak tekankan dalam membicarakan berkenaan dengan rang undang-undang ini. Pertama ialah pembangunan kapasiti untuk melaksanakan pindaan akta ini secara lebih baik. Kerana pada akhir tahun lepas, dengan hasil Ops Pedo Bersepadu PDRM-SKMM 2.0, lebih daripada 880,000 fail bahan penderaan seks kanak-kanak ataupun child sexual abuse material
(CSAM) dirampas.
Jumlah ini meningkat 20 kali ganda, daripada tahun-tahun yang sebelumnya. Ini bukan satu angka yang kecil. Menunjukkan jenayah seksual terhadap kanak-kanak ini, semakin membesar di dalam negara kita, dan juga semakin canggih terutamanya dalam konteks untuk mereka lakukan. Mereka itu berada di luar sempadan negara kita.
Ketua Polis Negeri sendiri pun mengakui bahawa peningkatan ini memberikan tekanan yang besar kepada pihak berkuasa, tentang keupayaan penyiasatan, berkenaan dengan kepakaran forensik digital dan juga penyimpanan bahan bukti digital. Justeru itu, saya nak bertanya kepada pihak Menteri. Berapakah kekuatan forensik siber yang benar-benar khusus untuk menyiasat terhadap eksploitasi seksual kanak-kanak di seluruh negara?
Yang keduanya, berapa ramai pakar forensik digital yang kita ada mempunyai kepakaran dalam menganalisa CSAM dan yang lebih penting lagi, apakah komitmen kerajaan dalam untuk menyediakan peruntukan ini? Timbalan Menteri, ini bajet ini nampak rang udang- undang ini, tak ada guna, peruntukan. Tak akan nak pakai air liur saja. Kan? Ini pelik sikit ini ya. Ini pelik sikit.
Jadi sebab itu persoalannya, bagaimana skop ini, kita akan— nak gunakan dengan baik kalau kita tidak adanya kewangan? Kita memerlukan latihan teknologi, kerjasama antarabangsa, penyimpanan bukti digital, dan juga berbagai-bagai penambahan kepakaran sebagainya. Memerlukan kepada peruntukan.
Yang keduanya, kekaburan dalam definasi permastautinan tetap dan permastautinan lazimnya. Pindaan ini memperkenalkan dua frasa penting iaitu permastautinan tetap Malaysia. dan permastautinan lazimnya di Malaysia. Bagaimana pendakwa nak membuktikan tentang permastautinan tetap Malaysia dan permastautinan lazim di Malaysia? Adakah berdasarkan kepada tempoh tinggalnya sini? Adakah berdasarkan kepada tempoh visanya?
Adakah berdasarkan rekod cukainya?
Adakah alamat tetap ataupun hubungan ekonomi dan sebagainya? Bagaimana pula tentang kedudukan expatriate yang lama, yang berada di negara kita? Bagaimana pula tentang kedudukan pelajar-pelajar antarabangsa? Bagaimana pula peserta-peserta My Second Home? Adakah mereka yang termasuk dalam kategori ini? Tanpa takrifan yang jelas ini, kita bimbang, takut ia mengalami masalah untuk dalam sesi untuk pembuktian nanti.
Isu yang ketiga, bidang kuasa bergantung kepada kerjasama antarabangsa.
Tindakan ini untuk memperluaskan bidang kuasa adalah sesuatu yang baik. Namun begitu, dalam hal penguatkuasa sebenar, dia bergantung dengan kerjasama daripada negara- negara lain. Malaysia mempunyai Akta Bantuan Bersama Dalam Perkara Jenayah 2002 [Akta 621]. Kita juga mempunyai pelbagai mekanisme, mutual legal assistance (MLA) dalam kerjasama ASEAN.
Persoalan saya ialah kepada Menteri, sejak daripada akta ini diperkenalkan pada tahun 2017, berapakah permohonan MLA yang melibatkan kesalahan seksual terhadap kanak-kanak yang telah dihantar. Dan berapakah yang berjaya? Dan berapakah juga permohonan ini yang ditolak? Dan adakah Malaysia mempunyai perjanjian ekstradisi yang mencukupi dengan negara-negara dikenal pasti sebagai destinasi pelancong seksual dari kalangan kanak-kanak?
Yang keempatnya, ialah pengalaman beberapa negara yang wajar untuk kita contohi.
Di United Kingdom, peruntukkan bidang kuasa luar wilayah di bawah Sexual Offences Act 2003, hampir sama dengan pendekatan yang dicadangkan dalam Akta 792. Namun, dalam tempoh dua dekad ini, hanya segelintir sahaja pendakwaan berjaya dilaksanakan, walaupun kes yang banyak berlaku, puluhan ribu yang berlaku terhadap individu-individu dan berisiko, yang melibatkan seksual terhadap kanak-kanak itu sendiri.
Sebaliknya, kita tengok Australia, mengambil langkah yang lebih jauh daripada itu.
Memperkenalkan mekanisme sekatan terhadap perjalanan mereka yang terlibat dengan skandal ini dan juga menerima bahan bukti digital seperti gambar, video dan bagi mengatasi kesukaran untuk membawa saksi mereka dari luar negara.
Datuk Haji Idris bin Haji Ahmad - Bagan Serai
Justeru itu saya berpandangan, pendekatan kerajaan meminda akta ini adalah begitu tepat, dan akhir sekali kelima, perlindungan terhadap mangsa perlu berjalan seiring dengan hukuman terhadap pelaku, kerana pendekatan yang kita tidak boleh hanya boleh menghukum semata-mata, bahkan perlu juga dalam soal untuk penekanan kepada soal didikan yang melebihi daripada hukuman.
Kerana Bukit Aman sendiri mendedahkan kegiatan ini. Dia bukan bermula dengan ugutan, sebaliknya dengan pujukan dengan bahasa yang agak rare orang panggilkan, bahasa yang menarik kepada anak-anak ini, hubungan emosi kepada mangsa-mangsa dan sebagainya. Maka, akhirnya selepas itu barulah mereka akan mengenakan ugutan terhadap mangsa yang terlibat tadi.
Maka Dato’ Yang di-Pertua, terima kasih. Wabillahi taufiq wal hidayah, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato' Dr. Ramli bin Dato' Mohd Nor
Terima kasih Yang Berhormat. Pembahas berikutnya adalah Yang Berhormat Kuala Langat.
Dato’ Dr. Ahmad Yunus bin Hairi - Kuala Langat
Assalamualaikum warahmatullahitaala wabarakatuh. Bismillahirrahmanirrahim. Terima kasih Yang di-Pertua di atas kesempatan diberikan kepada saya untuk turut berbahas di dalam perbahasan meminda Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017.
Saya mohon menyokong pindaan akta Rang Undang-undang Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak (Pindaan) 2026 [Akta 792] dan saya melihat bahawa tindakan yang diambil walaupun kesalahan ini dilakukan di luar daripada negara kita, yang berlaku melalui teknologi dan juga, platform digital yang mungkin sebelum ini ia tidak dapat dilakukan dengan sebaik mungkin.
[Tuan Yang di-Pertua **mempengerusikan Mesyuarat****] Jenayah seksual rentas sempadan melalui komunikasi seksual ataupun eksploitasi dalam talian, penstriman dan penyebaran kandungan seksual. Kita tidak mahu kanak-kanak di Malaysia dieksploitasi secara jenayah seksual.
Kalau kita lihat daripada data menunjukkan operasi penguatkuasaan daripada 2024 sehingga April 2026, mengesan lebih daripada 1.47 juta fail berkaitan bahan penderaan seksual kanak-kanak, laporan bahan penderaan seksual kanak-kanak (CSAM) dengan 117 individu ditahan di seluruh negara dan kita dapat melihat peningkatan kes jenayah seksual terhadap kanak-kanak. Statistik kanak-kanak di Malaysia merekodkan 1,567 kes kesalahan seksual terhadap kanak-kanak pada tahun 2023 dan ini meningkat lebih kurang dalam 26.5 peratus berbanding dengan tahun sebelumnya.
Dalam pindaan akta ini, saya kira antara yang pentingnya adalah berkaitan dengan pelaku dan juga kanak-kanak, sama ada dia seseorang berwarga Malaysia atau seseorang pemastautin tetap Malaysia atau seseorang yang mempunyai permastautinan lazimnya di Malaysia. Yang saya kira permastautinan lazimnya di Malaysia ini, agak mempunyai kekaburan dan saya hendak minta kepada Yang Berhormat Menteri untuk menjelaskan takrifan sebenarnya permastautinan lazim di Malaysia ini.
Kerana kita mahu seboleh-bolehnya, seluruh ataupun anak-anak, ataupun mereka yang terlibat ini, sama ada daripada mereka ini warganegara Malaysia ataupun bukan warganegara Malaysia, dan mungkin juga, termasuklah pendatang tanpa izin, mungkin juga anak-anak UNHCR yang mudah mungkin untuk dieksploitasi dalam jenayah seksual ini.
Kelakuan jenayah seksual kanak-kanak di Malaysia harus dibanteras secara total seboleh-bolehnya. Saya nak mencadangkan di sini supaya ada satu bentuk kawalan yang secara serius dilakukan oleh kerajaan agar jenayah seksual kanak-kanak ini yang melalui platform digital dapat kita tangani dengan sebaik mungkin.
Kalau kita melihat akta ini pun, tahun 2017 sehingga pada hari ini, saya kira kita mempunyai kekangan-kekangan yang cukup besar kerana melalui platform digital ini, ada sahaja lagi masalah-masalah jenayah seksual yang berlaku, yang kita boleh lihat daripada platform digital ini. Dan, saya melihat juga bahawa pendidikan di peringkat Kementerian Kesihatan Malaysia, sudah tiba masanya bagaimana kita hendak meletakkan soal pendidikan kepada anak-anak kita berkaitan dengan jenayah seksual, terutamanya dalam platform- platform media ini supaya akhirnya kita dapat menangani dengan sebaik mungkin.
Saya juga ingin tahu, berapakah jumlah mungkin jenayah-jenayah seksual rentas sempadan ini yang berlaku, tetapi kita tidak dapat mengambil tindakan disebabkan oleh kekangan daripada sudut akta yang kita ada sehinggakan kita mahu meminda akta yang sebaik ini.
Dan akhirnya, disebabkan kita juga sebagai wakil rakyat memainkan peranan yang cukup besar untuk menunjukkan kepada rakyat di luar sana, bagaimana kita ini adalah menjadi penghubung ataupun penyampai maklumat kepada masyarakat yang ada di luar sana supaya kita mengambil serius berkaitan jenayah seksual di dalam — kanak-kanak di dalam negara kita.
Kita tidak mahu walaupun gambarannya bukan kepada kanak-kanak, tetapi berlaku kepada wakil rakyat kita di dalam Malaysia ini. Bukan sahaja sekadar hanya tuduhan, tetapi ia disabitkan dengan kesalahan dan dihukum terlibat dalam jenayah sosial dan ini gambaran yang tidak baik, saya kira, kepada seluruh rakyat di dalam negara kita.
Ini bukan cerita, ini berlaku di dalam negara kita. Saya tidak membabitkan kepada mana-mana parti politik, tetapi wakil rakyat yang mewakili satu politik yang ada di dalam negara kita pada hari ini. Setakat itu perbahasan saya Yang di-Pertua. Saya ucapkan terima kasih. *Wabillahi taufiq wal hidayah, assalamualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh.
[Tepuk]*
Tuan Yang di-Pertua
Baik. Sebelum saya menjemput Yang Berhormat Tampin, saya ingin membuat sedikit pengumuman.
Yang Berhormat sekalian, dengan rasa yang amat dukacita dan sedih, saya ingin mengumumkan kepada Ahli Yang Berhormat sekalian bahawa bonda kepada Yang Berhormat Senator Dato Awang Bemee bin Awang Ali Basah, Yang di-Pertua Dewan Negara iaitu Allahyarhamah Puan Sehat binti Haji Rusdi telah kembali ke rahmatullah sebentar tadi.
Saya bagi Ahli Dewan ini dan pihak Parlimen seluruhnya ingin merakamkan ucapan takziah kepada Yang Berhormat Senator Dato Awang Bemee bin Awang Ali Basah atas pemergian bonda tercinta. Saya mengharapkan Yang Berhormat Senator Dato Awang Bemee bin Awang Ali Basah dan seluruh keluarga terus tabah dalam menghadapi situasi ini.
Kita mendoakan moga-moga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh beliau serta ditempatkan di kalangan orang-orang yang solehah serta lagi beriman.
Baik. Kita teruskan dengan saya menjemput Yang Berhormat Tampin, silakan.
Dato’ Mohd Isam bin Mohd Isa - Tampin
Bismillahirrahmanirrahim. Terima kasih Tan Sri Yang di-Pertua kerana memberi peluang kepada saya untuk turut sama mengambil bahagian dalam perbahasan RUU Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak
(Pindaan) 2026.
Pertama kali, saya ingin menyatakan sokongan penuh terhadap hasrat kerajaan untuk terus memperkukuhkan perlindungan undang-undang terhadap kanak-kanak daripada ancam jenayah seksual yang semakin kompleks dalam era digital hari ini. Umum mengetahui kanak-kanak hari ini terdedah kepada risiko seksual secara dalam talian, pemerasan seksual manipulasi emosi, grooming, penyebaran imej intim tanpa kerelaan dan eksploitasi seksual rentas sempadan. Justeru itu, pindaan yang dibawa pada hari ini adalah tepat pada masanya.
Tan Sri Yang di-Pertua, penggantian seksyen 3 untuk meluaskan pemakaian luar wilayah merupakan tindakan yang bakal menutup lompang perundangan sedia ada. Walau bagaimanapun, undang-undang yang baik tidak akan mencapai objektifnya jika penguatkuasaan masih berdepan dengan kekangan kapasiti dan kepakaran.
Kelemahan penguatkuasaan bukan sahaja menyebabkan kes lambat disiasat, malah boleh mengakibatkan bukti digital hilang, mangsa semakin trauma dan pelaku boleh terus bebas mengulangi perbuatan mereka. Cabaran penguatkuasaan dalam kes sebegini sangat berbeza. Kemahiran dalam forensik digital, analisis data peranti, pengesanan akaun palsu serta kerjasama rentas negara mainkan peranan yang cukup besar.
Sudah tiba masanya rantaian tindakan pantas dan selaras diwujudkan segera antara agensi yang berkaitan. Apabila sesuatu laporan diterima, kita mesti ada mekanisme tindak balas segera dan koordinasi yang jelas antara PDRM, pendakwa raya, hospital, JKM dan juga pihak sekolah.
Selain itu, saya berpandangan bahawa penguatkuasaan juga perlu disokong dengan satu sistem pemantauan prestasi yang jelas. Tanpa ukuran prestasi yang telus, kita sukar mengetahui sama ada masalah utama terletak pada undang-undang sumber manusia, teknologi atau koordinasi antara agensi dalam memerangi jenayah seksual terhadap kanak- kanak.
Dato’ Mohd Isam bin Mohd Isa - Tampin
Seterusnya Tan Sri Speaker, dunia hari ini berdepan dengan satu realiti baharu iaitu peningkatan penggunaan teknologi kecerdasan buatan generatif (deepfake) dan segala macam teknologi yang telah membuka ruang cukup luas kepada pemangsa seksual. Lebih membimbangkan, teknologi AI mampu menghasilkan imej atau video palsu yang kelihatan sangat meyakinkan, termasuklah kandungan seksual menyerupai kanak-kanak.
Walaupun kandungan itu tidak melibatkan mangsa sebenar, kesannya tetap serius kerana boleh digunakan untuk memalukan, mengugut dan menormalisasikan eksploitasi seksual terhadap kanak-kanak. Dalam erti kata lain, bahaya teknologi ini bukan sahaja terhad kepada penciptaan bahan tetapi ia nya juga ada penyebaran, penyimpanan, pertukaran dan penggunaannya sebagai alat ugutan.
Justeru itu saya ingin bertanya, adakah definisi kesalahan dalam undang-undang sedia ada cukup luas untuk merangkumi bahan eksploitasi seksual kanak-kanak yang dijana secara sintetik melalui AI ataupun deepfake? Jika tiada, saya berpandangan bahawa kerajaan perlu meneliti dengan serius keperluan untuk mewujudkan kesalahan khusus berkaitan bahan eksploitasi seksual kanak-kanak yang dihasilkan secara sintetik.
Hal ini cukup penting supaya undang-undang kita tidak ketinggalan berbanding perkembangan teknologi jenayah. Jika kita serius mahu melindungi generasi masa depan, maka undang-undang, penguatkuasaan dan keupayaan teknikal mesti bergerak seiring dengan perkembangan teknologi semasa.
Perkara yang terakhir Tan Sri Speaker, jika kita benar-benar melindungi kanak-kanak, maka pendidikan pencegahan adalah benteng terbaik dan mesti menjadi sebahagian daripada strategi utama negara. Saya berpandangan bahawa pendidikan keselamatan seksual yang bersesuaian dengan umur perlu diperkukuh di sekolah, di rumah dan di dalam komuniti.
Kanak-kanak perlu diajar dalam bahasa yang mudah, sesuai dengan tahap perkembangan supaya mereka tahu membezakan sentuhan selamat dan tidak selamat, memahami hak terhadap tubuh badan sendiri serta berani berkata ‘tidak’ dan melapor apabila berasa tidak selesa.
Namun pendidikan pencegahan ini tidak boleh berhenti pada pengetahuan asas sahaja. Dalam konteks hari ini, kanak-kanak juga perlu dididik tentang keselamatan digital.
Mereka perlu faham bahawa semua orang dalam talian adalah seperti yang mereka dakwa.
Gambar peribadi tidak boleh dikongsi sewenang-wenangnya dan permintaan untuk menghasilkan perbualan kepada ibu bapa atau guru adalah tanda amaran yang serius.
Dalam hal ini, saya mencadangkan kepada Kementerian Pendidikan, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, serta agensi penguat kuasa membangunkan modul pendidikan perlindungan kanak-kanak yang standard untuk dilaksanakan secara berkala.
Selain itu, ibu bapa mesti dijadikan rakan strategik dalam pencegahan. Kerajaan perlu memperluaskan kempen kesedaran kepada ibu bapa tentang kawalan ibu bapa dan pemantauan penggunaan peranti.
Akhir sekali Tan Sri Speaker, jenayah seksual terhadap kanak-kanak merupakan jenayah yang meninggalkan kesan sepanjang hayat kepada mangsa. Pindaan undang- undang ini merupakan satu langkah yang penting. Namun kejayaannya memerlukan pendekatan yang lebih menyeluruh, melibatkan penguatkuasaan, pendidikan pencegahan yang berkesan serta kerjasama erat antara kerajaan dan masyarakat.
Saya berharap segala persoalan dan cadangan yang dikemukakan mendapat pertimbangan pihak kerajaan demi memastikan setiap kanak-kanak di negara kita dapat membesar dalam persekitaran yang selamat, bermaruah dan bebas daripada sebarang bentuk eksploitasi seksual. Dengan itu, saya menyokong RUU Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak (Pindaan) 2026.
Muafakat dan penyatuan membawa berkat, Barisan Nasional menang di Johor dan Negeri Sembilan demi rakyat. Sekian, terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua
Baik, seterusnya saya jemput Pengkalan Chepa.
Datuk Dr. Ahmad Marzuk bin Shaary - Pengkalan Chepa
Terima kasih kepada Tan Sri Speaker. Bismillahirrahmanirrahim. Saya juga sepertimana rakan-rakan tadi berdiri untuk menyokong rang undang-undang ini kerana dalam soal keselamatan kanak-kanak tidak ada ruang untuk kita berkompromi.
Namun, saya datang dengan beberapa teguran membina supaya pindaan ini benar- benar memberi kesan iaitu bukan sekadar menambah baik teks undang-undang, tetapi memberi kesan yang signifikan terhadap pencegahan jenayah seksual kanak-kanak ini.
Walaupun pindaan ini hanya melibatkan seksyen 3 Akta 792, kesannya amat besar.
Ia memperluaskan extraterritorial jurisdiction iaitu bidang kuasa luar wilayah supaya Malaysia boleh mengambil tindakan terhadap kesalahan seksual terhadap kanak-kanak yang berlaku di luar negara apabila pelaku atau mangsa mempunyai hubungan yang signifikan dengan Malaysia.
Saya menyokong prinsip ini kerana dalam dunia tanpa sempadan pada hari ini, tangan undang-undang Malaysia tidak boleh lagi terhenti di pintu keluar KLIA. Tetapi persoalan yang lebih penting ialah adakah kita hanya memperluaskan bidang kuasa atau kita juga memperkukuhkan keupayaan untuk menguatkuasakannya kerana dalam bidang kuasa tanpa keupayaan menyiasat hanyalah keadilan di atas kertas.
Hari ini jenayah seksual terhadap kanak-kanak bukan lagi jenayah yang berlaku di lorong gelap. Ia berlaku dalam telefon pintar, di media sosial, di permainan dalam talian, di aplikasi sembang. Pemangsa hari ini tidak perlu mendekati mangsa secara fizikal. Mereka membina kepercayaan selama berbulan-bulan melalui online grooming kemudian menggunakan ugutan, pemerasan seksual melalui gambar atau video intim sebelum mengeksploitasi mangsa. Inilah wajah baru jenayah seksual.
Menurut kajian, Disrupting Harm in Malaysia oleh UNICEF dan INTERPOL, dianggarkan lebih 100,000 kanak-kanak pengguna Internet berumur 12 tahun hingga 17 tahun di Malaysia mengalami sekurang-kurangnya satu bentuk eksploitasi seksual dalam talian dalam tempoh setahun. Lebih membimbangkan, ramai mangsa tidak membuat laporan kepada pihak berkuasa. Ini bermakna angka rasmi yang kita lihat hari ini hanyalah the tip of the iceberg. Apa yang tidak dilaporkan mungkin jauh lebih besar.
Sebab itu, kalau tadi Yang Berhormat Jelutong sebut banyak kes yang dilaporkan di negeri Kelantan, saya ucap terima kasih kepada PDRM dan penguatkuasaan yang cekap dan pantas. Jadi, cadangan dia tadi tak relevan. Dia kata kena hantar banyak lagi penguat kuasa. Penguat kuasa dah bagus sehingga boleh mencegah dan membongkarkan kes-kes yang berlaku kerana dalam data yang disebut ini 100,000 lebih yang mungkin terlibat yang tidak dilaporkan. Yang dilaporkan hanya jumlah yang kecil.
Sebab itu, kalau kita nak bercakap tentang penguatkuasaan, macam Bagan Serai sebut tadi, kita hairan dengan penjenayah-penjenayah ini yang memfokuskan kepada kanak- kanak ini. Juga, kita hairan bagaimana di Pulau Pinang, bekas ADUN DAP boleh terlibat dengan perkahwinan sejenis, yang terlibat dengan LGBT. Ini dilaporkan oleh media. Sampai sekarang apa keputusan siasatan daripada Majlis Agama Islam Pulau Pinang.
Dato’ Rosol bin Wahid - Hulu Terengganu
Pengkalan Chepa.
Datuk Dr. Ahmad Marzuk bin Shaary - Pengkalan Chepa
Ini satu perkara yang tidak bagus.
Dato’ Rosol bin Wahid - Hulu Terengganu
Beri peluang boleh?
Datuk Dr. Ahmad Marzuk bin Shaary - Pengkalan Chepa
Ya.
Dato’ Rosol bin Wahid - Hulu Terengganu
Okey, macam saya katakan tadi. Suka kepada kanak-kanak, satu kepelikan. Setuju tak Bagan Serai bahawa suka lelaki sesama lelaki lebih, lebih pelik lagi? Kerana lembu pun tak suka jantan sama jantan. Apa pandangan?
Datuk Dr. Ahmad Marzuk bin Shaary - Pengkalan Chepa
Setuju. Setuju, masukkan dalam ucapan saya, raja pencelah. Sebab itu saya berpandangan pindaan ini tidak boleh dilihat sebagai pindaan teknikal semata-mata. Ia mesti menjadi sebahagian daripada reformasi keseluruhan sistem perlindungan kanak-kanak.
Dari sudut undang-undang, pindaan ini selari dengan protective principle iaitu prinsip yang membolehkan sesebuah negara melindungi rakyatnya walaupun jenayah berlaku di luar wilayahnya. Sebagaimana yang disebutkan oleh ramai tadi, United Kingdom melalui Sexual Offences Act 2003, Australia dan juga Singapura juga mempunyai peruntukan yang hampir sama.
Namun pengalaman negara-negara tersebut menunjukkan bahawa cabaran sebenar bukan menggubal undang-undang tetapi ialah untuk membuktikan kes itu di mahkamah supaya pesalah itu dikenakan tindakan. Bagaimana bukti digital diperoleh?
Bagaimana saksi luar negara dipanggil? Bagaimana data daripada platform digital disahkan? Bagaimana rantaian bukti atau chain of custody dikekalkan? Bagaimana proses Mutual Legal Assistance dan ekstradisi dipercepatkan? Kalau semua ini tidak diperkukuhkan, pindaan ini akan cantik dalam warta tetapi sukar untuk diterjemahkan kepada sabitan di mahkamah.
Saya juga ingin mendapatkan penjelasan daripada menteri mengenai pemastautin lazim (habitual resident) yang dimaksudkan dalam pindaan ini. Apakah ukuran yang akan digunakan? Tempoh menetap? Pekerjaan? Keluarga? Status cukai? Definisi yang jelas amat penting supaya tidak timbul pertikaian teknikal yang akhirnya memberi kelebihan kepada tertuduh.
Tuan Yang di-Pertua, saya ingin mengemukakan empat cadangan. Pertama, kerajaan perlu memperkukuhkan kepakaran forensik digital kerana penjenayah pada hari ini menggunakan pelayan luar negara aplikasi yang disulitkan dan teknologi yang semakin kompleks. Pegawai penyiasat juga mesti berkembang seiring dengan kecanggihan jenayah.
Datuk Dr. Ahmad Marzuk bin Shaary - Pengkalan Chepa
Yang kedua, kerajaan perlu mewujudkan kerjasama yang lebih pantas dengan syarikat-syarikat teknologi antarabangsa dalam pembuktian jenayah digital ini. Yang ketiga, kita mesti mengelakkan secondary victim session iaitu kanak-kanak yang menjadi mangsa terpaksa mengulangi kisah traumanya berkali-kali kepada polis, doktor, pegawai kebajikan pendakwa raya dan mahkamah supaya proses keadilan tidak boleh menjadi satu lagi bentuk penderaan terhadap mangsa. Keempat, pendidikan keselamatan digital mesti diperkasakan, anak-anak perlu diajar mengenali grooming, eksploitasi seksual dalam talian dan cara mendapatkan bantuan mencegah sentiasa lebih murah daripada merawat.
Saya menyokong pindaan ini, tetapi janganlah kita sekadar memanjangkan tangan undang-undang ke luar negara, pastikan tangan itu cukup kuat untuk menjejak penjenayah, cukup cekap untuk mengumpul bukti, cukup pantas untuk menyelamatkan mangsa dan cukup tegas untuk memastikan tiada seorang pun pemangsa kanak-kanak terlepas hanya kerana kelemahan sistem kerana apabila negara gagal melindungi seorang kanak-kanak yang rosak, bukan sekadar masa depan seorang anak tetapi masa depan sebuah generasi. Terima kasih, Tuan Yang di-Pertua.
Tuan Yang di-Pertua
Baik. Seterusnya, saya jemput Padang Serai.
Dato’ Azman bin Nasrudin - Padang Serai
*Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.* Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, kanak-kanak adalah amanah suci yang wajib kita lindungi. Namun, apabila kita meneliti senario semasa, kita mendapati landskap ancaman terhadap golongan rentan ini telah berubah secara drastik.
Jika dahulu ancaman bersifat fizikal adalah setempat, hari ini jenayah siber telah meruntuhkan sempadan domestik. Pemangsa kini menggunakan algoritma media sosial, ruang sembang permainan video, online grooming dan platform digital untuk melakukan online grooming, pengantunan digital. Statistik menunjukkan lonjakkan kes pemilikan bahan penganiayaan seksual terhadap kanak (CSAM) malah kecerdasan buatan (AI) kini disalahgunakan untuk mencipta kandungan palsu deep fake yang mengeksploitasi anak- anak kita. Oleh itu, keperluan pindaan RUU ini bukan lagi satu pilihan melainkan satu fardu kifayah perundangan yang mendesak.
Undang-undang sedia ada yang digubal bertahun-tahun lalu tidak lagi kalis di masa hadapan. Kita sedang berhadapan dengan penjenayah yang licik, yang menyorok di sebalik skrin dan rangkaian web, rangkaian gelap (dark web) mengeksploitasi di setiap ruang kosong dalam technicality perundangan lama kita. Pindaan ini hadir sebagai perisai yang moden untuk menutup rapat setiap lompang tersebut secara agresif dan ofensif.
Tuan Yang di-Pertua, bagi menjawab cabaran zaman, izinkan saya membentangkan tiga perkara penting yang menjadi teras utama dalam RUU pindaan ini. Yang pertama, perluasan takrifan jenayah seksual digital dan kecerdasan buatan (AI). Pindaan ini secara khusus mengiktiraf dan menjenayahkan penghasilan, pemilikan atau penyebaran imej seksual kanak-kanak yang dijana oleh teknologi AI. Sesiapa yang menciptakan kandungan eksploitasi digital, walaupun bukan gambar kanak-kanak sebenar, tetapi menyerupai kanak- kanak akan di hukum sama berat dengan pesalah fizikal.
Yang kedua, pemberatan hukuman dan sekatan pasca banduan. Kita menaikkan kadar hukuman penjara minimum dan bilangan sebatan mandatori.
Tuan Haji Azli bin Yusof - Shah Alam
Padang Serai.
Dato’ Azman bin Nasrudin - Padang Serai
Lebih utama, sistem pendaftaran pesalah diperketat melalui daftar kanak-kanak serta sekatan seumur hidup daripada pemegang sebarang jawatan atau pekerjaan yang melibatkan interaksi dengan kanak-kanak.
Tuan Haji Azli bin Yusof - Shah Alam
Padang Serai, boleh?
Dato’ Azman bin Nasrudin - Padang Serai
Yang ketiga ― minta maaf, saya tak ada masa.
Tuan Yang di-Pertua
Shah Alam.
Dato’ Azman bin Nasrudin - Padang Serai
Bagi saya habiskan. Penjelasan hak keterangan mangsa. Memansuhkan keperluan beban pembuktian yang terlalu membebankan psikologi kanak-kanak. Proses memberi keterangan di mahkamah diwajibkan menggunakan tadbir, skrin ataupun pautan video langsung bagi mengelakkan trauma kali kedua (secondary victimization).
Isu pelaksanaan pemangsa pemastautin (PR) di luar negara. Seterusnya timbul persoalan pragmatik yang amat penting, sejauh manakah pindaan undang-undang ini boleh dilaksanakan jika pemangsanya merupakan pemastautin tetap (PR) Malaysia tetapi tidak tinggal lagi di dalam negara? Tuan Yang di-Pertua, jawapannya adalah sangat boleh dan boleh dilaksanakan melalui mekanisme undang-undang yang kita panggil prinsip bidang luar kuasa wilayah (extraterritorial jurisdiction).
Di bawah elemen baru pindaan ini, kita memperluas bidang kuasa mahkamah domestik untuk melangkaui sempadan fizikal geografi negara. Memandangkan suspek memegang status pemastautin tetap (PR) Malaysia, mereka masih lagi terikat dengan undang-undang negara ini, bagi jenayah berat tertentu. Pelaksanaannya dilakukan menerusi tiga instrumen utama.
Yang pertama, Akta Bantuan Bersama dalam Perkara Jenayah (MLA). Kerajaan boleh memohon bantuan perundangan daripada negara tempat pemangsa bermastautin untuk mengumpul bukti, melakukan serbuan dan perampas peranti digital pesalah. Perjanjian ekstradisi ataupun Red Notice INTERPOL melalui kerjasama polis antarabangsa, pesalah dikesan melakukan grooming atau eksploitasi siber terhadap kanak-kanak di Malaysia boleh ditangkap di luar negara dan diekstradisi, dihantar pulang secara rasmi ke Malaysia untuk dibicarakan di mahkamah negara kita.
Ketiganya, sekatan status imigresen. Pindaan ini membolehkan pembatalan serta merta status pemastautin tetap (PR) dan pasport mereka menjadikan status mereka sebagai pendatang haram di negara asing tersebut sekali gus memaksa proses pengusiran pulang ke tanah air. Kita hantar mesej yang jelas, berlarilah ke hujung dunia sekali pun, lengan undang-undang Malaysia cukup panjang untuk mengheret anda ke muka pengadilan.
Tuan Yang di-Pertua, seterusnya kita harus sedar bahawa undang-undang hanyalah mekanikal panel hukuman yang bertindak selepas jenayah berlaku. Benteng paling ampuh sebelum jenayah terjadi adalah melalui kepentingan pendidikan dan juga pemahaman agama. Agama mendidik kita konsep tentang ihsan iaitu kesedaran tertinggi bahawa Tuhan sentiasa memerhati gerak geri kita sama ada di dalam nyata mahupun di bilik siber yang gelap.
Pemahaman agama yang syumul (menyeluruh) wajib diterapkan bermula dari institusi-institusi keluarga. Ibu bapa tidak boleh lagi menganggap pendidikan, batas tubuh badan atau keselamatan seksual sebagai subjek yang taboo ataupun memalukan. Dalam Islam, ini sebahagian daripada tuntutan hifz al-nafs menjaga jiwa dan kehormatan dan juga hifz al-nafs menjaga keturunan. Kanak-kanak perlu dididik tentang maruah diri manakala golongan dewasa perlu diasuh dengan konsep akauntabiliti dosa dan pahala dalam melayari Internet. Agama adalah kompas moral yang akan memadamkan api nafsu haiwani sebelum ia diterjemahkan menjadi tindakan jenayah.
Jadi apakah implikasi RUU ini terhadap masyarakat kita? Yang pertama, ia akan melahirkan ekosistem perlindungan kolektif. Ia mengubah minda masyarakat terhadap sikap apatis (menjaga tepi kain sendiri) ke budaya saling melindungi. Setiap ahli masyarakat akan menjadi mata dan telinga bagi pihak berkuasa.
Yang kedua, pemulihan keyakinan sosial. Ibu bapa akan mempunyai keyakinan semula terhadap institusi pendidikan, pusat jagaan dan ruang siber kerana tahu sistem perundangan berdiri teguh sebagai pelindung anak-anak mereka.
Ketiga, isyarat kosong toleransi (zero tolerance) mewujudkan kesan gerun di track effect yang memaksima kepada sesiapa sahaja yang berniat buruk terhadap kanak-kanak.
Yang terakhir Tuan Yang di-Pertua, pindaan rang undang-undang ini melangkaui batas ideologi politik. Inilah benteng kemanusiaan. Jangan kita biarkan masa depan anak- anak kita tergadai disebabkan kelalaian kita hari ini. Demi maruah dan anak cucuk kita, demi air mata mangsa-mangsa yang tidak berdosa, saya mohon pindaan RUU ini disokong dan diberikan kekuatan. Terima kasih.
Tuan Haji Azli bin Yusof - Shah Alam
Padang Serai. Tadi, Padang Serai kata kalau habis boleh...
Dato’ Azman bin Nasrudin - Padang Serai
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Tuan Haji Azli bin Yusof - Shah Alam
Saya nak sokong.
Dato’ Azman bin Nasrudin - Padang Serai
Tidak. Saya tidak ada masa. Itu yang masa cukup-cukup.
Tuan Haji Azli bin Yusof - Shah Alam
Boleh Tan Sri? Okey. Begini Tan Sri Speaker, Padang Serai. Sekarang ini kita sedang berada dalam zaman artificial intelligence (AI).
Dengan artificial intelligence ini pun kita sudah menghadapi pelbagai cabaran juga masalah sehingga kita terpaksa mengadakan RUU mengubah, membuat pindaan untuk menangani pelbagai gejala termasuk gejala seksual kanak-kanak ini.
Selepas artificial intelligence ini, kita akan berhadapan dengan apa yang disebut sebagai agentic AI iaitu di mana AI ini, dia akan ada ejen-ejen, saya akan ada ejen saya, Padang Serai akan ada ejen. Ejen ini dia boleh berinteraksi antara satu sama lain. Dia boleh berunding, dia boleh bergaduh dan sebagainya. Dan ini sebenarnya akan menimbulkan suasana yang lebih kritikal, lebih parah kalau kita tidak ada satu mekanisme bagaimana untuk menanganinya. Setuju kah Padang Serai, kalau kita cadangkan kepada kerajaan supaya bersedia juga dengan RUU untuk menghadapi cabaran agentic AI ini. Terima kasih.
Dato’ Azman bin Nasrudin - Padang Serai
Terima kasih Shah Alam. Masukkan dalam ucapan saya.
Tuan Yang di-Pertua
Baik, saya jemput Bukit Bendera.
Puan Syerleena binti Abdul Rashid - Bukit Bendera
Terima kasih Tan Sri Speaker kerana memberi ruang dan juga peluang kepada Bukit Bendera untuk mengambil giliran untuk berbahas. Jadi, izinkan saya mulakan bukan dengan satu seksyen ataupun dengan fasal tetapi dengan satu nama yang sepatutnya membuat kita semua di dalam Dewan ini berasa malu iaitu Richard Huckle.
Lelaki warga British ini datang ke Malaysia menyamar sebagai seorang guru, sebagai seorang jurugambar dan selama 10 tahun dia merogol dan mencabuli anak-anak kita, bayi, kanak-kanak bawah umur 13. Jadi, catatan peribadinya sendiri merekodkan seramai 200 orang kanak-kanak dan apabila keadilan akhirnya datang, ia datang dari sebuah mahkamah di London bukan di Kuala Lumpur. Mahkamah Britain yang menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup ke atasnya, bukan mahkamah kita.
Jadi Tuan Yang di-Pertua, biar saya cakap terus terang. 200 orang anak Malaysia menjadi mangsa dan kita terpaksa menunggu pendakwa raya negara orang untuk bertindak bagi pihak anak-anak kita sendiri. Jadi, itu merupakan satu kegagalan dan rang undang- undang yang kita bahaskan hari ini akan cuba menutup kelompongan itu.
Di sini Bukit Bendera menyokong rang undang-undang ini. Jadi, pindaan kepada seksyen 3 Akta 792, ia membawa satu perubahan yang penting. Sebelum ini bidang kuasa luar wilayah kita hanya terpakai apabila pesalahnya merupakan warganegara Malaysia. Jadi, mulai sekarang melalui seksyen 3(b) yang dicadangkan, Malaysia boleh mendakwa sesiapa sahaja termasuklah warga asing.
Jadi apabila mangsanya seorang kanak-kanak Malaysia, jadi buat pertama kalinya undang-undang kita mengikut mangsa bukan sekadar pasport pesalah. Dan melalui seksyen 3(a), ia turut diperluaskan kepada pemastautin tetap dan mereka yang menetap di negara ini.
Ini adalah langkah yang betul. Ini adalah kesinambungan kepada reformasi yang sudah dimulakan oleh Kerajaan Perpaduan pada tahun 2023 dan 2024.
Tetapi Tuan Yang di-Pertua, izinkan saya bersuara menuntut lebih demi anak-anak kita. Inilah rang undang-undang yang tidak sepatutnya ditolak oleh sesiapa pun di dalam Dewan ini. Tiada seorang pun mempunyai alasan untuk tidak bersetuju kerana hakikatnya begini. Undang-undang yang cantik di atas kertas tidak bermakna apa-apa jika pemangsa masih boleh terlepas di dunia nyata.
Jadi, rang undang-undang ini menyatakan ia tidak melibatkan apa-apa perbelanjaan tambahan. Jadi, saya ingin bertanya kepada kerajaan, macam mana? Bidang kuasa merentas sempadan menuntut penyiasat yang terlatih, kepakaran forensik digital, perjanjian bantuan bersama dalam perkara jenayah dan perjanjian ekstradisi.
Jadi, bidang kuasa tanpa penyiasat bukan perlindungan. Bidang kuasa tanpa ekstradisi ya bukan perlindungan dan bidang kuasa tanpa satu sen di belakangnya hanyalah satu kenyataan akhbar sedangkan anak-anak Malaysia berhak mendapat lebih daripada kenyataan akhbar itu.
Jadi, saya ingin bertanya dengan berapa buah negara kita ada peraturan sebegitu dan adakah ia mencukupi ya untuk jenayah di bawah Akta 792? Dan apa sebenarnya maksud pemastautin lazimnya di Malaysia kerana istilah yang kabur akan menjadi celah yang diambil kesempatan oleh peguam bela?
Dan biar saya berterus terang tentang satu batasan, pindaan ini hanya terpakai bagi kesalahan yang dilakukan selepas ia berkuat kuasa. Jadi, ia tidak boleh menjangkau kes-kes yang telah lalu. Sebab itu kita tidak boleh berpuas hati, jadi kelompongan yang lebih besar masih ternganga luas.
Penguatkuasaan jenayah dalam talian yang lemah di mana hanya empat kes mendekati kanak-kanak untuk tuduhan seksual ataupun dengan izin, child grooming dilaporkan pada 2023 sedangkan ancaman sebenarnya menyentuh ribuan daftar pesalah seksual yang masih tidak boleh disemak oleh ibu bapa dan pihak sekolah dan juga perlindungan saksi kanak-kanak yang belum dilaksanakan sepenuhnya di setiap mahkamah negeri.
Jadi Tuan Yang di-Pertua, kes Richard Huckle ini sepatutnya kekal sebagai satu peringatan yang membakar kita. Bukan kerana ia berlaku di negara orang tetapi berlaku kepada anak-anak kita di tanah air kita sendiri dan ketika itu kita tak mampu nak bertindak.
Jadi, hari ini kita memperluaskan lagi bidang kuasa tetapi bidang kuasa hanyalah janji di atas kertas sehinggalah tiba hari ia benar-benar menyelamatkan seorang anak.
Bukit Bendera menyokong rang undang-undang ini sepenuh hati. Namun, sokongan saya bukan satu noktah. Ia satu tuntutan kerana setiap anak Malaysia di dalam— luar negara, luar negeri, berhak sebuah negara yang sanggup memburu pemangsa mereka sehinggalah ke hujung dunia dan itulah ukuran sebenar sesebuah kerajaan yang mengambil berat tentang anak-anak kita. Dan itulah yang saya tuntut di Dewan yang mulia ini pada hari ini. Dengan itu, Bukit Bendera menyokong. Terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua
Baik, seterusnya saya jemput Maran.
Dato’ Sri Dr. Haji Ismail bin Abd Muttalib - Maran
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam sejahtera. Terima kasih Tan Sri Yang di-Pertua kerana izinkan saya untuk turut membahaskan pindaan rang undang-undang kesalahan jenayah kanak-kanak. Tan Sri Yang di-Pertua, kanak-kanak ialah amanah ibu bapa dan mereka adalah pewaris masa depan negara.
Jika kehidupan mereka dicemari dan dirosakkan sejak kecil, yang rugi bukan sahaja anak itu sendiri tetapi seluruh masyarakat. Sebab itulah kesalahan terhadap kanak-kanak tidak boleh dipandang ringan, khususnya kesalahan yang mencederakan maruah keselamatan dan masa depan mereka juga masa depan kita semua dan negara dan dunia amnya.
Tan Sri Yang di-Pertua, kalau kita lihat statistik sejak tahun 2021 hingga 2025, 4,079 kes keganasan dan berjumlah 3,042 pula kes gangguan seksual kanak-kanak telah direkodkan dan mungkin ini ada kes-kes yang tidak direkodkan. Oleh itu, kesedaran betapa pentingnya rang undang-undang ini mesti disedari oleh semua ibu bapa, pemimpin, bahkan seluruh anggota masyarakat di negara kita.
Tan Sri Yang di-Pertua, rang undang-undang ini secara prinsipnya wajar dan perlu disokong untuk — dalam pindaan ini. Pindaan ini menggantikan seksyen 3 Akta Kesalahan- Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 [Akta 792] bagi meluaskan pemakaian luar wilayah akta tersebut. Di bawah peruntukan sedia ada Akta 792, hanya terpakai bagi kesalahan yang dilakukan di luar Malaysia oleh warganegara Malaysia terhadap mana-mana kanak-kanak.
Pindaan 2026 memperluaskan kepada tiga kategori utama:
(i) warganegara Malaysia,
(ii) pemastautin tetap Malaysia; dan
(iii) seseorang yang mempunyai pemastautin lazimnya di Malaysia.
Pindaan ini juga membolehkan tindakan diambil terhadap mana-mana orang yang melakukan kesalahan di luar Malaysia terhadap kanak-kanak yang mempunyai kaitan dengan Malaysia sama ada sebagai warganegara Malaysia, pemastautin tetap Malaysia atau kanak-kanak yang mempunyai pemastautin lazimnya di Malaysia.
Dari segi niat, pindaan ini bergerak ke arah yang betul. Jenayah seksual terhadap kanak-kanak hari ini tidak lagi terhad kepada sempadan fizikal negara. Ia boleh berlaku melalui perjalanan rentas negara, platform digital, rangkaian komunikasi antarabangsa, hubungan kuasa, keluarga rentas negara serta eksploitasi terhadap kanak-kanak Malaysia yang berada di luar negara.
Maka, undang-undang tidak boleh berhenti di pintu imigresen. Perlindungan terhadap kanak-kanak mesti mengikut mangsa dan pelaku, bukan hanya lokasi jenayah. Tan Sri Yang di-Pertua, namun di sebalik niat yang kuat, RUU ini masih mempunyai beberapa kelemahan pelaksanaan yang perlu dijawab oleh kerajaan.
Masalahnya bukan ada prinsip— bukan pada prinsip peluasan bidang kuasa tetapi pada persoalan bagaimana bidang kuasa itu hendak dilaksanakan dengan jelas, adil, berkesan dan berpaksikan mangsa? Inilah poin yang patut diberikan, dibangkitkan di Dewan.
Tan Sri Yang di-Pertua, sebelum itu Tan Sri Yang di-Pertua, saya nak ingin bertanya sejak Akta 792 ini di kuat kuasa pada 2017, berapakah banyak kah kes telah dibuka di bawah seksyen 3 berkaitan pemakaian luar wilayah dan daripada jumlah itu berapa yang telah disiasat, didakwa dan di— ditentukan, ditetapkan sabitan?
Dato’ Sri Dr. Haji Ismail bin Abd Muttalib - Maran
Tan Sri Yang di-Pertua, fasal 2 rang undang-undang menggantikan seksyen 3 Akta 792, seksyen baru ini memasukkan kategori seseorang yang mempunyai pemastautin lazimnya di Malaysia. Sebagai pelaku yang boleh dikenakan tindakan bagi kesalahan di luar Malaysia, kategori yang sama juga digunakan bagi kanak-kanak mangsa yang berada dalam perlindungan akta ini.
Tan Sri Yang di-Pertua, risiko dan kelemahannya? Kelemahan utama ialah istilah pemastautin lazimnya di Malaysia tidak diberikan takrif yang jelas dalam RUU ini. Istilah ini penting kerana ia menentukan siapa yang boleh didakwa di Malaysia dan kanak-kanak mana yang dilindungi oleh akta ini apabila kesalahan berlaku di luar negara.
Jika istilah ini dibiarkan terlalu terbuka, ia boleh menimbulkan ketidaktentuan dalam pendakwaan. Adakah seseorang pekerja asing tinggal lama di Malaysia termasuk dalam kategori ini? Bagaimana pula pelajar antarabangsa, pasangan kepada rakyat Malaysia pemegang pas kerja, pelarian, pemohon suaka atau individu yang tinggal secara berulang alik antara Malaysia dan negara lain? Berapa lama seseorang mesti berada di Malaysia sebelum dianggap mempunyai pemastautin lazim? Enam bulan? Setahun? Beberapa tahun?
Adakah niat untuk menetap di Malaysia perlu dibuktikan?
Dalam undang-undang jenayah, ketidakjelasan definisi boleh membawa dua risiko.
Pertama, pendakwaan mungkin menjadi sukar kerana pihak pembelaan boleh mencabar status pemastautin lazim tersebut. Kedua, kuasa undang-undang menjadi terlalu luas jika tiada pagar tafsiran yang jelas. Undang-undang yang bertujuan melindungi kanak-kanak mesti kuat, tetapi kekuatan yang datang daripada ketepatan, bukan daripada kekaburan.
Tan Sri Yang di-Pertua, fasal 2 memperluaskan pemakaian luar wilayah Akta 792.
Maksudnya, kesalahan yang berlaku di luar Malaysia boleh diuruskan seolah-olah dilakukan di dalam Malaysia jika terdapat kaitan yang dinyatakan dalam seksyen 3. Pindaan ini memberikan bidang kuasa kepada Malaysia, tetapi bidang kuasa sahaja tidak cukup.
Kesalahan yang berlaku di luar negara memerlukan bukti, saksi, rekod perjalanan, rekod komunikasi, laporan pihak berkuasa asing, bukti digital, keterangan perubatan serta kerjasama antara agensi. Semua ini tidak automatik hanya kerana Parlimen meluluskan peluasan seksyen 3 ini.
Tan Sri Yang di-Pertua, suka saya mengingatkan di sini bahawa ingatlah pesanan Allah SWT dalam Ayat 41, Surah ar-Rum, [Membaca sepotong ayat al-Quran] , yang bermaksud, “Telah melebar berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut akibat daripada perbuatan manusia”. Tan Sri Yang di-Pertua, sebab itulah kita berharap supaya semua Ahli Parlimen dalam Dewan ini memberikan sokongan yang padu bagi kita melaksanakan penguatkuasaan rang undang-undang kelakuan jenayah seksual pada kanak-kanak ini bagi kita memastikan supaya anak-anak ini akan menjadi masa depan, harta pada masa depan negara, bangsa dan juga tanah air kita. Terima kasih Tan Sri Yang di-Pertua.
Tuan Yang di-Pertua
Baik, seterusnya saya jemput Kepala Batas.
Dr. Siti Mastura binti Muhammad - Kepala Batas
Bismillahirrahmanirrahim Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih Tan Sri Yang di-Pertua di atas seruan yang diberikan kepada Kepala Batas untuk membahaskan rang undang-undang ini.
Saya mulakan dengan firman Allah SWT dalam Surah at-Tahriim, ayat 6 yang bermaksud, “Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah diri kamu dan ahli keluarga kamu daripada api neraka”. Ayat ini bukan hanya berbicara tentang pendidikan agama bahkan merupakan amanah besar supaya setiap anak dipelihara daripada segala bentuk kebinasaan termasuk eksploitasi, penderaan dan jenayah seksual. Apakah kita benar-benar telah melakukan segala yang termampu untuk melindungi anak-anak?
RUU ini merupakan satu perkembangan yang amat signifikan. Jenayah seksual terhadap kanak-kanak kini semakin bersifat rentas sempadan. Pelaku boleh bergerak dari satu negara ke negara yang lain, mangsa pula mungkin boleh berada di negara yang lain.
Sekiranya undang-undang kita tidak bergerak seiring, maka penjenayah akan sentiasa mencari ruang dan peluang kelemahan sistem.
Jenayah ini boleh berlaku kepada siapa sahaja tanpa melihat negeri, latar belakang politik mahupun mangsa. Jadi, usahlah bersifat sombong ataupun bongkak, mendabik dada, menyalahkan itu dan ini dan menjadikan itu sebagai kempen murahan untuk pilihan raya negeri Johor ini. Bak kata pepatah, “sebelum bercakap, cermin dahulu”.
Tan Sri Yang di-Pertua, yang pertama tanggungjawab melindungi kanak-kanak.
Undang-undang yang baik tidak akan membawa makna sekiranya penguatkuasaan masih lemah. Malaysia wajar memperkukuhkan kerjasama dengan INTERPOL dan juga Singapore serta negara-negara lain bagi memastikan bukti digital, saksi dan proses ekstradisi dapat dilaksanakan secara berkesan. Kebanyakan kanak-kanak tidak sedar bahawa mereka sedang dieksploitasi.
Hal ini disebabkan mereka keliru akan perbuatan si pelaku sama ada usapan, pelukan, perkongsian imej seksual itu adalah kerana kasih sayang ataupun gangguan seksual terhadap mereka. Si pelaku mungkin menunjukkan kelakuan yang baik menyebabkan kita sebagai ibu bapa kadang-kadang mudah tertarik atau selesa dengan kehadiran si pelaku.
Sebagai seorang ibu, Kepala Batas membayangkan bagaimana jika anak yang kita izinkan bercuti ke luar negara misalnya menjadi mangsa? Bagaimana jika anak yang mengikuti ibu bapanya bekerja di luar negara dieksploitasi? Bagaimana jika seorang anak- anak Malaysia menjadi mangsa di bumi asing, sedangkan pelakunya merasakan dirinya selamat hanya kerana jenayah itu berlaku di luar negara?
Yang kedua, pencegahan awal perlu diberi perhatian yang serius. Hari ini ramai pemangsa tidak lagi menyentuh mangsa secara fizikal pada peringkat awal. Mereka memerangkap melalui media sosial, membina kepercayaan dan melakukan grooming. Para pemangsa kemudiannya mengeksploitasi emosi kanak-kanak tersebut dan akhirnya mereka memusnahkan kehidupan kanak-kanak. Adakah terdapat modul pendidikan tentang bahayanya online grooming? Kepala Batas ingin tahu, apakah program-program pencegahan awal pendidikan seksual terkini yang diperkenalkan di sekolah ataupun pusat asuhan kanak-kanak? Apakah modul penguasaan digital serta kesedaran mengenai bahaya online grooming akan dimasukkan secara lebih teratur dalam kurikulum sekolah? Adakah para guru dan pegawai kaunseling diberikan latihan khusus untuk mengenal pasti tanda-tanda awal kanak-kanak menjadi mangsa eksploitasi seksual?
Yang ketiga, perhatian selepas trauma. Sabda Rasulullahlah SAW yang bermaksud, “Bukan dari kalangan kami orang yang tidak mengasihi yang muda dan tidak menghormati yang tua”. Kepala Batas berharap agar kerajaan tidak hanya memberi perhatian kepada si pelaku, bahkan mangsa juga memerlukan pemulihan, rawatan psikologi, kaunseling, bantuan pendidikan dan pemulihan sosial.
Trauma seksual tidak berakhir selepas keputusan mahkamah dibacakan, kadangkala ia menghantui mangsa sepanjang hayat seperti trauma psikologi yang boleh menyebabkan kecelaruan identiti ataupun memiliki berbilang identiti. Kesan daripada itu menyebabkan kanak-kanak dulunya seorang mangsa, tapi mungkin boleh berubah menjadi mangsa.
Misalnya, apa yang digambarkan melalui drama siri Ahyan, Good Boys Go to Heaven, yang cuba menggambarkan betapa besarnya implikasi gangguan seksual ini terhadap seorang kanak-kanak.
Yang keempat, pemantauan dan keberkesanan pelaksanaan selepas pindaan.
Kepala Batas ingin menegaskan bahawa kejayaan sesuatu undang-undang diukur daripada petunjuk prestasi utama ataupun KPI. Sehubungan dengan itu, Kepala Batas ingin tahu, apakah terdapat KPI yang akan diperkenalkan bagi menilai impak pindaan ini? Cadangan KPI yang boleh dipertimbangkan ialah yang pertama peningkatan kadar sabitan bagi kes-kes kesalahan seksual terhadap kanak-kanak.
Yang kedua, pengurangan jumlah kes eksploitasi seksual kanak-kanak khususnya yang melibatkan platform digital dan jenayah rentas sempadan.
Yang ketiga, pengurangan tempoh penyiasatan dan pendakwaan supaya mangsa memperoleh keadilan dengan efektif.
Yang keempat, peningkatan kerjasama antarabangsa seperti bantuan perundangan bersama dan operasi bersama bagi memburu penjenayah merentas sempadan.
Kepala Batas mencadangkan pembentangan laporan tahunan KPI tersebut secara berkala bagi proses penilaian di peringkat Parlimen.
Yang kelima, perlindungan terhadap anak warganegara dalam proses permohonan kewarganegaraan. Kepala Batas ingin menyentuh sedikit berkaitan kanak-kanak yang tiada kewarganegaraan ataupun dengan izin, stateless. Pada sidang lepas, Kepala Batas ada bertemu dengan seorang ibu yang berusaha untuk mendapatkan kewarganegaraan anak- anaknya. Suami seorang warganegara Turki, ibu warganegara Malaysia, anak dilahirkan di Amerika. Malangnya, setiap anak ini belum diberikan kewarganegaraan biarpun sebagai seorang anak Malaysia. Persoalannya, mohon penjelasan, apakah nasib mereka ini sekiranya berlaku serangan ataupun pelecehan seksual sedangkan ibu atau ayah mereka adalah warga Malaysia?
Berdasarkan kewarganegaraan ibu ataupun ayah mereka, bolehkah akta ini melindungi anak yang sedang dilanda cabaran mendapatkan kewarganegaraan? Sekiranya itu adalah anak kita, sudah pasti akta ini diharap dapat menjadi tempat si ibu dan si anak ini berpaut dalam mendapat keadilan.
Dr. Siti Mastura binti Muhammad - Kepala Batas
Tuan Yang di-Pertua, Imam Ghazali ada menyebut, anak-anak adalah amanah. Hati mereka bersih, suci dan menerima apa sahaja yang dicorakkan kepadanya. Hari ini kita membahaskan fasal undang-undang yang bukan sahaja secara berilmiah tetapi penuh rasa kasih sayang demi masa depan generasi kita. Tiada seorang ibu dan kanak-kanak yang patut hidup dalam ketakutan, tiada seorang ibu yang patut tidur dengan kebimbangan bahawa anaknya tidak lagi dilindungi oleh undang-undang hanya kerana berada di luar sempadan negara. Malaysia mempunyai sempadan geografi tetapi Malaysia tidak mempunyai sempadan dalam mempertahankan maruah dan keselamatan anak-anak.
Kepala Batas pasti, rakyat di Kepala Batas turut menyokong pindaan ini tanpa sempadan agama, bangsa dan juga fahaman politik. Mudahan akta ini akan memberi nilai tambah kepada kesejahteraan hidup rakyat di negara ini. Maka, dengan lafaz Bismillah, Kepala Batas menyokong RUU ini. Sekian, terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua
Baik, seterusnya saya jemput Bentong.
Puan Young Syefura binti Othman - Bentong
Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.
Terima kasih Tan Sri Yang di-Pertua kerana memberikan ruang kepada saya untuk mengambil bahagian dalam perbahasan Rang Undang-undang Kesalahan-kesalahan Seksual terhadap Kanak-kanak (Pindaan) 2026. Sebagai Ahli Parlimen, saya berdiri pada hari ini untuk menyatakan sokongan penuh terhadap pindaan ini kerana saya percaya, perlindungan terhadap kanak-kanak bukanlah satu pilihan tetapi satu tanggungjawab yang wajib dipikul oleh setiap daripada kita.
Tan Sri Yang di-Pertua, anak-anak adalah khazanah paling berharga pada negara kita. Mereka adalah generasi pewaris masa hadapan yang sepatutnya membesar dalam keadaan selamat, disayangi dan dilindungi. Namun, dalam keghairahan kita mengejar arus pendigitalan dan teknologi terkini, kita sering terlupa bahawa pemangsa seksual juga berkembang seiring dengan teknologi.
Jenayah seksual terhadap kanak-kanak hari ini bukan lagi sekadar berlaku secara fizikal. Ia telah berevolusi menjadi ancaman rentas sempadan yang kejam, licik dan sukar dikesan. Pemangsa kini tidak memerlukan sentuhan fizikal untuk merosakkan kehidupan seorang kanak-kanak. Mereka hanya memerlukan telefon pintar, akaun media sosial palsu dan sedikit kemahiran memanipulasi emosi mangsa. Hari ini jenayah seperti online grooming, pemerasan seksual dan penyebaran bahan penderaan seksual kanak-kanak berlaku dengan hanya satu klik sahaja.
Tan Sri Yang di-Pertua, apabila kita berbicara mengenai eksploitasi dan amang seksual terhadap kanak-kanak, negara kita sebenarnya masih belum sembuh daripada beberapa episod hitam yang mencederakan hati rakyat Malaysia.
Kita masih mengingati bagaimana operasi global mendedahkan dakwaan eksploitasi kanak-kanak secara sistematik yang mengejutkan seluruh negara. Kita juga menyaksikan bagaimana individu yang berpengaruh dan kedudukan dalam masyarakat boleh memanipulasi kanak-kanak demi kepuasan nafsu mereka sendiri. Baru-baru ini pula negara digemparkan dengan kes seorang penjaga rumah kebajikan di Batu Caves yang didakwa atas belasan pertuduhan amang seksual, fizikal dan luar tabii terhadap kanak-kanak seawal usia lapan tahun.
Semua kes ini memberikan satu pengajaran yang jelas kepada kita. Pemangsa seksual tidak mempunyai wajah tertentu. Mereka boleh terdiri daripada individu yang dihormati masyarakat, orang yang dipercayai keluarga, penjaga institusi, guru, kenalan ataupun individu yang langsung tidak dikenali di alam maya.
Lebih membimbangkan, ancaman iaitu ancaman di ruang siber. Melalui Operasi Cyber Guardian 2026 yang dijalankan hasil kerjasama tujuh negara iaitu Malaysia, Singapura, Thailand, Brunei, Hong Kong, Korea Selatan dan Jepun, sebanyak 101 lokasi sasaran telah diserbu di seluruh negara dan 69 individu berjaya ditahan.
Namun, angka yang paling mengejutkan ialah pihak polis berjaya mengesan hampir 500,000 fail digital, termasuk lebih 200,000 fail child sexual abuse material yang mengandungi bahan penderaan seksual kanak-kanak. Lebih membimbangkan, empat operasi utama PDRM sejak 2024 telah mengesan lebih 1.47 juta fail CSAM. Membuktikan bahawa jenayah ini bukanlah lagi kes terpencil tapi telah berkembang satu industri jenayah rentas sempadan yang terancang.
Tan Sri Yang di-Pertua, setiap satu fail ini bukan sekadar nombor dalam statistik.
Setiap satu fail ini mewakili seorang kanak-kanak, seorang anak yang menjadi mangsa, seorang anak yang maruahnya dirampas, seorang anak yang mungkin akan menanggung trauma sepanjang hayat. Jika kita gagal bertindak hari ini, maka sebenarnya kita membiarkan penderaan ini berulang setiap kali bahan ini dikongsi dan diedarkan oleh seluruh dunia.
Tan Sri Yang di-Pertua, tetapi bayangkan pula bagaimana seorang pemangsa di luar negara. Mereka menggunakan media sosial untuk melakukan online grooming terhadap kanak-kanak Malaysia. Mereka mengugut mangsa supaya menghantar gambar lucah.
Mereka menyimpan dan menjual gambar tersebut melalui rangkaian antarabangsa.
Dan di bawah seksyen 3 Akta 792 yang sedia ada, bidang kuasa luar wilayah hanya terpakai kepada warganegara Malaysia sahaja. Ini bermaksud, sekiranya pelaku merupakan warga asing yang berada di luar negara, mangsanya ialah anak-anak Malaysia, terdapat kekangan dari sudut bidang kuasa undang-undang itu. Sebab itulah saya menyifatkan pindaan melalui fasal 2 yang menggantikan seksyen 3 Akta 792 ini sebagai satu pindaan paling penting dalam rang undang-undang ini.
Pertama, bidang kuasa luar wilayah ini diperluaskan kepada pemastautin tetap dan individu yang lazimnya bermastautin di Malaysia. Kedua dan paling signifikan, Malaysia kini mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana individu, termasuklah warga asing yang berada di luar negara sekiranya mangsa mereka merupakan warganegara dan pemastautin tetap Malaysia. Ini kita menghantar mesej yang jelas. Malaysia tidak lagi menjadi sebuah negara yang mampu melihat kanak-kanak dieksploitasi dari jauh.
Sebaliknya, Malaysia memilih untuk mengejar pemangsa melalui saluran undang-undang walau di mana mereka berada.
Tan Sri Yang di-Pertua, namun ingin saya tegaskan, pindaan undang-undang semata-mata ini tidak mencukupi. Jenayah seksual terhadap kanak-kanak berubah lebih pantas daripada undang-undang itu sendiri. Hari ini kita berhadapan dengan teknologi AI, deepfake, image synthetic dan identiti palsu yang digunakan untuk memanipulasi mangsa.
Grooming tidak lagi berada dalam tempoh beberapa jam. Ada yang mengambil masa berbulan-bulan sehingga mangsa menganggap pemangsa sebagai sahabat, abang atau individu yang boleh dipercayai. Sebab itu kita memerlukan pendekatan yang lebih menyeluruh.
Sehubungan itu, saya ingin mengemukakan beberapa cadangan iaitu kerajaan perlu memperkukuhkan kerjasama antarabangsa melalui mekanisme mutual legal assistance
(MLA), INTERPOL serta perkongsian risikan digital bersama-sama negara lain supaya siasatan rentas sempadan dapat dilaksanakan dengan pantas dan berkesan.
Kedua, saya mencadangkan data nasional pesalah seksual kanak-kanak boleh diakses secara terbuka oleh seluruh rakyat Malaysia. Mereka yang pernah disabit kesalahan seksual terhadap kanak-kanak tidak seharusnya diberikan peluang untuk kembali bekerja dalam persekitaran yang memberikan akses kepada kanak-kanak, walaupun hanya sekali kesalahan yang dijumpai.
Kerajaan juga perlu mewajibkan semakan latar belakang jenayah seksual terhadap semua individu yang bekerja atau menjadi sukarelawan di rumah kebajikan, taska, tadika, sekolah, pusat tahfiz, institusi agama, kelab sukan dan mana-mana organisasi yang melibatkan kanak-kanak.
Kanak-kanak perlu diajar sejak kecil mengenai budaya online grooming, privacy digital, keselamatan media sosial dan cara mendapatkan bantuan sekiranya menjadi mangsa.
Dan dunia hari ini, pendidikan keselamatan digital adalah sama penting dengan pendidikan membaca dan menulis. Keadilan yang lambat juga memberikan satu bentuk ketidakadilan kepada mangsa yang terpaksa mengulangi trauma mereka setiap kali proses perbicaraan ditangguhkan.
Dan juga saya menyeru, syarikat media sosial dan platform digital supaya meningkatkan kerjasama dengan Kerajaan Malaysia dalam mengesan akaun pemangsa, mempercepatkan penurunan kandungan serta menyerahkan maklumat kepada pihak berkuasa apabila terdapat unsur eksploitasi seksual terhadap kanak-kanak.
Yang terakhir Tan Sri Yang di-Pertua, saya juga ingin menyentuh aspek advokasi. Di Bentong mahupun di seluruh negara, ibu bapa perlu diberi kesedaran bahawa ancaman terhadap anak-anak hari ini bukan lagi menunggu mereka di luar rumah tetapi hari ini ibu bapa memberikan telefon pintar kepada anak-anak atas alasan pembelajaran dan komunikasi. Tetapi malangnya, telefon yang sama inilah boleh menjadi pintu masuk kepada pemangsa seksual. Ancaman ini kini berada dalam bilik tidur anak-anak kita di hujung jari mereka.
Oleh itu, ibu bapa, guru, masyarakat dan kerajaan mesti berganding bahu membina budaya perlindungan kanak-kanak yang lebih kukuh. Ini adalah satu janji jutaan kepada kanak-kanak Malaysia bahawa keselamatan, maruah dan masa depan mereka akan dipertahankan tanpa mengira sempadan.
Oleh itu Tan Sri, sebuah negara yang benar-benar bertamadun, bukan diukur melalui bangunan pencakar langit yang tinggi atau kemajuan teknologinya. Sebuah negara yang maju diukur melalui sejauh mana ia melindungi golongan yang paling lemah. Dengan itu Tan Sri, saya menyokong sepenuhnya rang undang-undang ini. Sekian, terima kasih.
Assalamualaikum.
Tuan Yang di-Pertua
Baik. Seterusnya saya jemput Tanjong Karang.
Kapten Dato' Dr. Zulkafperi bin Hanapi (B) - Tanjong Karang
Terima kasih Tan Sri Yang di-Pertua. Tanjong Karang bangkit untuk menyatakan sokongan sebulat suara dan penuh tegas terhadap Rang Undang-undang Kesalahan-kesalahan Seksual terhadap Kanak- kanak (Pindaan) 2026.
Anak-anak kita bukan sekadar masa depan negara. Mereka adalah amanah dan cerminan kepada moral serta nilai kemanusiaan yang kita pegang hari ini. Apabila kita berbicara tentang keselamatan kanak-kanak, tidak ada ruang untuk kompromi. Tidak ada ruang untuk berpolitik dan sama sekali tidak ada ruang untuk berlengah.
Tuan Yang di-Pertua, akta sedia ada telah banyak membantu tetapi landskap ancaman terhadap kanak-kanak telah berubah secara drastik.
Kapten Dato' Dr. Zulkafperi bin Hanapi (B) - Tanjong Karang
Pindaan pada tahun 2026 ini bukan sekadar satu keperluan kosmetik malah ia merupakan satu benteng perundangan yang sangat mendesak demi menutup lompang- lompang undang-undang yang dieksploitasi oleh pemangsa seksual pada alaf digital ini.
Tan Sri Yang di-Pertua, hujah saya yang pertama tertumpu pada evolusi jenayah digital. Kita kini berada pada tahun 2026. Teknologi kecerdasan buatan (AI) dan aplikasi deepfake kini bukan lagi sekadar fiksyen sains. Ia adalah realiti yang amat menakutkan.
Pemangsa kini tidak perlu berada secara fizikal bersama kanak-kanak kita untuk mencabuli maruah mereka. Cukup sekadar sekeping gambar biasa beruniform sekolah yang dimuat naik di media sosial, teknologi AI mampu mengubahnya menjadi kandungan pornografi kanak- kanak dalam masa beberapa saat.
Oleh itu, saya amat menyambut baik peruntukan baharu dalam pindaan ini yang memperluaskan takrifan bahan penganiayaan seksual kanak-kanak untuk merangkumi kandungan buatan digital dan manipulasi maklumat. Ini adalah langkah berani. Kita menghantar isyarat yang jelas kepada dunia, sama ada kandungan itu melibatkan kanak- kanak sebenar atau rekaan algoritma AI, selagi ia mengeksploitasikan imej kanak-kanak, ia adalah jenayah berat yang akan dihukum dengan sekeras-kerasnya.
Tan Sri Yang di-Pertua, hujah saya yang kedua adalah mengenai jenayah sexual grooming atau gangguan seksual di dalam talian. Taktik pemangsa hari ini semakin licik.
Mereka menyamar sebagai rakan sebaya dalam permainan video dalam talian (online gaming platforms), aplikasi penstriman dan bilik sembang peribadi. Mereka membina kepercayaan, manipulasi emosi sebelum akhirnya menjerat mangsa ke kancah eksploitasi fizikal.
Pindaan 2026 yang memperketatkan elemen pembuktian bagi kesalahan di bawah seksyen 11 Akta 792 adalah sangat-sangat bertepatan. Kita tidak boleh menunggu sehingga gangguan fizikal berlaku baru undang-undang ingin bertindak. Pencegahan mesti bermula dari saat niat jahat itu dizahirkan dalam bentuk teks digital.
Namun, Tuan Yang di-Pertua, undang-undang yang tegas tanpa penguatkuasaan yang pintar adalah sia-sia belaka. Saya ingin menggesa Kementerian Dalam Negeri dan Unit Siasatan Jenayah Seksual Wanita dan Kanak-kanak untuk diberikan bajet tambahan bagi meningkatkan keupayaan forensik digital mereka. Kita memerlukan sistem amaran awal digital dan kerjasama erat dengan penyedia platform antarabangsa untuk menurunkan kandungan toksik ini dengan serta-merta.
Tuan Yang di-Pertua, apabila kita meminda undang-undang ini, fokus utama kita bukan sahaja kepada menghukum sang pelaku tetapi juga tentang memulihkan sang mangsa. Trauma akibat gangguan seksual kepada kanak-kanak meninggalkan parut emosi seumur hidup. Saya ingin menarik perhatian Dewan yang mulia ini kepada aspek perjalanan mahkamah bagi kanak-kanak. Pindaan ini menyentuh tentang penambahbaikan kemudahan mahkamah jenayah seksual terhadap kanak-kanak.
Saya menyokong penuh usaha memperluaskan penggunaan teknologi live link atau pautan langsung supaya mangsa kanak-kanak tidak perlu berhadapan mata dengan pemangsa mereka di dalam kandang tertuduh. Proses memberi keterangan tidak sepatutnya menjadi satu proses trauma kedua atau, dengan izin, secondary victimization bagi kanak- kanak ini.
Selain itu, saya memohon agar diperkasakan skim sokongan psikologi mandatori yang dibiayai oleh kerajaan untuk mangsa dan keluarga mereka bagi memastikan proses pemulihan mereka berjalan secara holistik.
Tuan Yang di-Pertua, sebelum Tanjong Karang mengakhiri perbahasan ini, izinkan saya memberikan satu syor tambahan kepada pihak kementerian. Sambil kita meminda undang-undang ini di Parlimen, kita juga wajib memperkasakan literasi siber di peringkat sekolah. Kanak-kanak perlu diajar tentang digital body safety apa yang boleh dikongsikan dan apa yang tidak boleh dikongsikan di Internet. Ibu bapa juga tidak boleh lepas tangan dan bersikap naif dengan memberikan gajet tanpa kawalan. Undang-undang adalah jaringan keselamatan. Tetapi, pendidikan di rumah adalah benteng yang pertama.
Tuan Yang di-Pertua, Ahli-ahli Yang Berhormat, hari ini sejarah bakal mencatatkan sama ada kita memilih untuk menjadi sebuah negara yang responsif terhadap keselamatan anak-anak kita atau sebuah negara yang membiarkan mereka menjadi mangsa kerakusan teknologi dan manusia bertopeng syaitan. Janganlah kita tunggu sehingga anak cucu kita sendiri menjadi mangsa baru kita mahu menginsafi kelompongan yang ada. Detik ini, suara kita, undi kita dan komitmen kita dalam Dewan yang mulia akan menentukan keselamatan anak-anak di luar sana.
Dengan tekad yang bulat demi masa depan anak-anak Malaysia, Tanjong Karang menyokong penuh Rang Undang-undang Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak- Kanak (Pindaan) 2026 ini untuk diluluskan. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Tuan Yang di-Pertua
Seterusnya, saya jemput Kuala Krai.
Tuan Haji Abdul Latiff bin Abdul Rahman - Kuala Krai
Terima kasih Tan Sri Yang di-Pertua kerana memberi kesempatan kepada Kuala Krai untuk turut serta dalam perbahasan RUU Kesalahan-kesalahan Seksual terhadap Kanak-kanak (Pindaan) 2026.
Dasar dan sifar toleransi terhadap eksploitasi seksual kanak-kanak bukanlah satu pilihan. Ia adalah satu ketetapan moral yang mutlak. Oleh itu, saya ingin menyatakan sokongan terhadap prinsip asas pindaan ini. Namun, di sana terdapat beberapa perkara yang perlu ditambah baik agar ia menjadi sebuah perisai keluli yang kalis peluru, bukannya sekadar sekeping kertas hiasan di atas meja birokrasi.
Tan Sri Yang di-Pertua, pindaan ini melibatkan satu seksyen sahaja iaitu penggantian seksyen 3 Akta Kesalahan-kesalahan Seksual terhadap Kanak-kanak 2017 [Akta 792] meluaskan pemakaian luar wilayah.
Jenayah seksual kanak-kanak hari ini telah berubah watak. Ia bukan lagi sekadar ancaman fizikal domestik di lorong-lorong gelap atau di belakang sekolah. Pemangsa hari ini tidak perlu lagi memanjat pagar rumah mangsa. Jenayah ini telah berevolusi menjadi jenayah transnasional siber yang tanpa sempadan.
Dahulu di kawasan pedalaman seperti Kuala Krai, ibu bapa berasa selamat jika anak- anak mereka berada dalam bilik tidur di rumah mereka. Tetapi, hari ini, dengan gajet di tangan dan capaian Internet yang semakin meluas, bilik tidur anak-anak kita telah menjadi medan buruan terbuka bagi pemangsa seksual dari seluruh dunia. Kes-kes seperti online grooming, penstriman langsung, penderaan seksual dan ugutan seksual kini menceroboh masuk melalui aplikasi digital.
Pindaan ini adalah satu respons kritikal yang wajib bagi memastikan undang-undang kita tidak terus ketinggalan dalam menangani realiti hitam ini. Sebelum ini, bidang kuasa luar wilayah kita hanya terikat kepada warganegara Malaysia sahaja. Boleh kita bayangkan jika seorang warga asing yang memegang status pemastautin tetap ataupun PR di Malaysia atau seorang yang bermastautin lazim di negara kita pergi ke luar negara dan mengeksploitasi anak-anak kita secara digital. Undang-undang kita sebelum ini lumpuh dan bisu untuk mengambil tindakan kerana mereka bukan warganegara. Ini adalah satu penghinaan kepada kedaulatan perlindungan kanak-kanak kita.
Oleh itu, saya memuji langkah radikal kerajaan dalam meminda RUU ini yang meluaskan pemakaian luar wilayah kepada pemastautin tetap dan sesiapa sahaja yang permastautinan lazimnya di Malaysia, mereka boleh dan wajib didakwa di bawah undang- undang Malaysia. Skop perisai tanpa sempadan inilah yang kita mahukan.
Tan Sri Yang di-Pertua, menggubal undang-undang yang hebat dan gah di dalam Dewan yang mulia ini adalah satu perkara, tetapi melaksanakannya di dalam realiti adalah satu perkara yang berbeza sama sekali. Saya tidak mahu pindaan ini sekadar menjadi harimau tanpa taring yang nampak garang di atas dokumen tetapi lompong apabila berhadapan dengan realiti penguatkuasaan.
Apabila kita meluaskan bidang kuasa ke luar wilayah, kita sedang bercakap tentang operasi rentas sempadan. Persoalan besar saya kepada kementerian dan kerajaan hari ini, pertama ialah sejauh manakah kesiapsiagaan logistik aset dan kepakaran forensik digital PDRM kita khususnya Bahagian D11. Di Kuala Krai, contohnya, adakah kita memiliki aset canggih untuk mengesan jenayah siber sebegini dengan pantas? Adakah bajet penguatkuasaan akan ditingkatkan selaras dengan tuntutan RUU ini?
Saya mengambil kesempatan, Tan Sri Yang di-Pertua, di sini untuk membuat penghargaan kepada PDRM Kuala Krai atas kejayaan mendaftar volunteer smartphone patrol (VSP) yang mencatat penyertaan tertinggi di Malaysia dua tahun berturut-turut.
Sehingga kini, hampir 24,000 penduduk Kuala Krai telah mendaftar menjadi ahli VSP.
Tuan Haji Abdul Latiff bin Abdul Rahman - Kuala Krai
Ini bukan sekadar satu angka tetapi manifestasi kepercayaan rakyat terhadap PDRM serta bukti bahawa keselamatan awam akan lebih berkesan apabila polis dan masyarakat berganding bahu sebagai rakan strategik. Sesuailah Kuala Krai dinobatkan sebagai Bandar Paling Bahagia Tahun 2025 dan Dabong juga sebahagian daripada Kuala Krai sebagai Bandar Paling Bahagia Tahun 2026.
Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada PDRM dan AADK Kuala Krai atas kejayaan mempergiat operasi membanteras aktiviti dadah sehingga berjaya merekodkan banyak tangkapan berkaitan dadah. Apabila banyak operasi dan banyak tangkapan, maka tinggilah statistik kes dadah di kawasan ataupun daerah berkenaan.
Sebaliknya jika tidak mahu statistik tinggi, jangan buat tangkapan dan operasi pun dibuat hanya sekadar melepas batuk di tangga. Kejayaan ini wajar diberi pengiktirafan.
Walaupun nama Kuala Krai termasuk sebagai sebuah daerah rekodnya yang tinggi tetapi ini sebagai tanda kesungguhan PDRM dan agensi berkaitan melaksanakan tanggungjawab mereka dalam membasmi gejala sosial termasuk dadah. Ini bermakna, polis buat kerja, tahniah.
Tan Sri Yang di-Pertua, soalan kedua saya ialah bagaimanakah keberkesanan mekanisme bantuan bersama dalam perkara jenayah ataupun MLA dan perkongsian risikan kita dengan negara luar? Kita tahu proses ekstradisi dan birokrasi antarabangsa sering kali memakan masa bertahun-tahun. Berapa banyak kah perjanjian MLA yang telah aktif dan efektif sehingga tahun 2026 ini? Jangan sampai undang-undang sudah ada tetapi pelaku di luar negara kekal bebas mengetawakan kita kerana proses diplomatik kita lambat dan berbelit-belit. Undang-undang yang tidak mampu dikuatkuasakan secara efektif akhirnya akan memberi harapan palsu kepada kita semua rakyat Malaysia, lebih-lebih lagi mangsa dan keluarganya.
Ketiga, soalan ketiga saya ialah saya juga ingin menyentuh peranan pihak berwajib dalam membendung jenayah dalam talian dan penyebaran bahan pornografi yang semakin membimbangkan khususnya yang melibatkan kanak-kanak. Walaupun pelbagai langkah diumumkan, kandungan lucah, eksploitasi seksual, perjudian dan penipuan dalam talian masih mudah diakses termasuk oleh kanak-kanak dan remaja. Apakah pendekatan holistik yang lebih tegas dan proaktif telah dan akan diambil bagi memastikan ruang siber negara kita selamat?
Dan soalan keempat, berapakah— cabaran terbesar kita hari ini ialah penjenayah tidak pernah menunggu kita. Ketika kerajaan menyediakan rang undang-undang ini, mereka sudah pun menyediakan pelan untuk memintasnya. Sebab itu, undang-undang mesti bersifat dinamik, pantas dan sentiasa mendahului jenayah, bukannya sekadar mengejar jenayah yang telah berlaku.
Sebagai penutup Tan Sri Yang di-Pertua, sebagai sebuah negara yang progresif, kita mesti membuktikan bahawa keselamatan, maruah dan kesejahteraan anak-anak kita adalah agenda nasional yang strategik dan tidak boleh di kompromi sama sekali. Saya menuntut komitmen yang tidak berbelah bahagi daripada pihak kerajaan agar aspek penguatkuasaan, penyediaan dana forensik siber dan kerjasama INTERPOL diperkukuhkan secara agresif seiring dengan kelulusan RUU ini.
Kita berhutang masa depan yang selamat kepada semua generasi muda. Masa depan anak-anak kita adalah amanah kita. Terima kasih Tan Sri Yang di-Pertua.
Tuan Yang di-Pertua
Baik, seterusnya saya jemput Bukit Gelugor.
Tuan Ramkarpal Singh a/l Karpal Singh - Bukit Gelugor
Terima kasih Tan Sri Speaker kerana memberi saya peluang untuk membahas RUU Kesalahan-kesalahan Seksual terhadap Kanak-kanak (Pindaan) 2026. Ini adalah satu rang undang-undang yang cukup penting Tuan Speaker dan seharusnya kita menyokongnya oleh kerana ia nya adalah bersifat untuk melindungi anak-anak kita.
Kerajaan telah menunjukkan komitmen yang tinggi terhadap kebajikan kanak-kanak di Malaysia melalui pindaan RUU ini. Usaha dan inisiatif untuk memperluaskan lagi skop RUU ini juga amat-amat dialu-alukan khususnya cadangan untuk memperluaskan bidang kuasa undang-undang bagi merangkumi kesalahan seksual terhadap kanak-kanak di luar Malaysia sama ada oleh warga Malaysia atau Pemastautin Tetap (PR).
Namun demikian, saya ingin menimbulkan beberapa perkara ataupun persoalan.
Sebelum itu kita perlu menekankan bahawa perluasan bidang kuasa wilayah kawasan luar ini hanya akan bermakna sekiranya disokong oleh kapasiti penguatkuasaan dan kerjasama antarabangsa yang setimpal. Itu saya ingat telah ditimbulkan oleh banyak Ahli Parlimen hari ini dan saya akan berkongsi ataupun menambah beberapa observation saya sendiri berkenaan isu ini dalam masa terdekat.
Tapi soalan pertama ingin saya timbulkan Tuan Speaker adalah berkenaan dengan ataupun berkaitan dengan isu double jeopardy. Sekiranya ini adalah berkaitan dengan pendakwaan dan hak tertuduh, bagaimanakah kerajaan merancang untuk menangani isu ini?
Adakah sekiranya seseorang itu disiasat di luar negara contohnya di luar negara dan didapati siasatan tersebut tidak menunjukkan terdapat bukti yang mencukupi di negara yang lain, adakah beliau tersebut juga akan disiasat semula sekiranya dia datang balik ke sini ataupun sekiranya di-extradited ataupun sebagainya.
The point is this, sekiranya beliau dan sebaliknya sekiranya beliau dituduh di negara lain. Sekiranya umpamanya terdapat bukti yang memadai atau mencukupi sekiranya beliau didapati bersalah ataupun didapati tidak bersalah, adakah beliau akan— adakah pendakwaan boleh diambil terhadap beliau sekiranya beliau datang balik ke negara ini?
Bukankah itu akan offense against the rule of double jeopardy?Itu adalah satu isu yang ingin saya tanya berkenaan dengan isu RUU ini.
Isu ini ialah mungkin satu isu perundangan tetapi satu isu yang penting juga oleh kerana sekiranya kita melihat kepada RUU ini, kita juga kena tanya beberapa soalan dengan cooperation badan penguatkuasaan di negara ini dengan badan penguatkuasaan di negara- negara lain iaitu berkenaan dengan sama ada terdapat— ini adalah soalan kedua saya, sama ada terdapat kerjasama antarabangsa pula.
Adakah terdapat perancangan konkrit untuk mewujudkan atau mengukuhkan mekanisme kerjasama dengan badan enforcement ataupun penguatkuasaan dengan izin, enforcement antarabangsa contohnya seperti INTERPOL, agensi penguatkuasaan undang- undang negara asing, badan perlindungan anak-anak global bagi tujuan siasatan dan penjejakan suspek berkerakyatan Malaysia yang terlibat dengan kes jenayah seksual kanak- kanak di luar negara khususnya.
Adakah terdapat rang kerja yang jelas bagi penyelarasan antara agensi tempatan seperti PDRM, SPRM dan Jabatan Imigresen dengan badan sejawat antarabangsa mereka?
Dan bagaimanakah kerajaan merancang untuk memastikan bahawa jenayah rentas sempadan sebegini dapat disiasat dan didakwa secara kolaboratif dan berkesan?
Kita telah pun mendengar daripada beberapa ahli tadi seperti Bukit Bendera yang telah pun menimbulkan Michael Huckle...
Puan Syerleena binti Abdul Rashid - Bukit Bendera
Richard.
Tuan Ramkarpal Singh a/l Karpal Singh - Bukit Gelugor
Richard Huckle minta maaf yang memang kita semua telah pun mendengar nama dia. Satu penjenayah yang amat menjijikkan yang telah pun berlaku di Malaysia tetapi disabitkan oleh mahkamah antarabangsa di United Kingdom.
Tetapi adakah usaha-usaha ataupun terdapat information ataupun intelligence berkenaan dengan orang-orang seperti ini yang mungkin ada rekod jenayah di negara lain sebelum mereka datang ke Malaysia dan sama ada badan penguatkuasaan kami di sini, are they equip dengan izin Tan Sri Speaker with the necessary intelligence to detect such person from entering the country in the first place sebelum mereka datang ke negara ini?
Akhirnya Tan Sri Speaker persoalan yang terakhir adalah adakah Malaysia mempunyai kapasiti seperti yang saya kata ini telah ditimbulkan tetapi saya ingin menambah.
Adakah Malaysia mempunyai kapasiti mencukupi untuk menyiasat kes jenayah seksual kanak-kanak yang melibatkan warganegara Malaysia atau Pemastautin Tetap yang bermastautin di luar negara khususnya dua perkara sebelum saya akhir.
Pertamanya, apakah sumber dan keupayaan yang diperlukan dari segi kakitangan terlatih, infrastructure forensic digital dan mekanisme perundangan bagi menjalankan siasatan rentas sempadan serta mengesan, menahan dan membawa pulang suspek atau pesalah ke Malaysia? Dan keduanya, sejauh manakah Malaysia pada masa ini memiliki keupayaan tersebut dan jika belum lagi, apakah jurang yang masih perlu ditangani? Dengan itu Tan Sri Speaker saya pohon untuk menyokong RUU ini dan saya ingin mengucapkan terima kasih kerana diberi peluang.
Tuan Yang di-Pertua
Baik, seterusnya saya jemput Kulim-Bandar Baharu.
Tuan Roslan bin Hashim - Kulim-Bandar Baharu
Baik, terima kasih Tan Sri Yang di-Pertua kerana memberi peluang juga kepada saya untuk turut mengambil bahagian dalam perbahasan Rang Undang-undang Jenayah Seksual 2026. Saya akan terus menyokong sebarang usaha membanteras segala bentuk eksploitasi seksual terhadap kanak-kanak.
Pindaan kepada Akta Kesalahan-kesalahan Seksual terhadap Kanak-kanak 2017 ini khususnya pindaan seksyen 3 yang telah memperluaskan bidang kuasa Malaysia terhadap kesalahan yang dilakukan di luar negara adalah satu langkah yang tepat pada masanya.
Namun begitu Tan Sri Yang di-Pertua, undang-undang yang baik akan benar-benar berkesan jika disokong oleh mekanisme pelaksanaan yang mantap.
Saya ingin mengemukakan beberapa persoalan dan cadangan penambahbaikan.
Yang pertama, soal kapasiti penguatkuasaan dan kesediaan teknologi forensik digital. Hari ini, penjenayah eksploitasi seksual kanak-kanak tidak lagi berlaku secara fizikal semata- mata. Ia berlaku melalui online grooming, chat penstriman langsung bahan penjenayah seksual kanak-kanak atau scam, malah menggunakan dark web dan juga teknologi penyulitan yang sangat sukar dikesan.
Persoalannya, adakah agensi penguat kuasa kita benar-benar bersedia? Adakah Polis Diraja Malaysia khususnya Unit D11 dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia mempunyai peruntukan yang mencukupi untuk memperoleh teknologi forensik digital terkini? Adakah pegawai kita menerima latihan bertaraf antarabangsa bagi mengesan pelaku yang beroperasi merentas sempadan dan berselindung di sebalik identiti palsu? Jika kapasiti digital kita masih terhad, maka pindaan ini berisiko menjadi sekadar peruntukan undang-undang tanpa keupayaan sebenar untuk mengheret penjenayah ke muka pengadilan.
Keduanya, saya ingin menyentuh mengenai cabaran bantuan bersama dalam perkara jenayah (MLA). Kerajaan menyatakan bahawa pelaksanaan bidang kuasa extraterritorial ini akan disokong oleh mekanisme MLA tetapi realitinya, proses ini sering mengambil masa yang sangat lama malah ada kes yang berlarutan bertahun-tahun.
Bagaimana pula jika pelaku berada di negara yang tidak mempunyai perjanjian ekstradisi dengan Malaysia? Saya ingin meminta penjelasan daripada Yang Berhormat Menteri.
Adakah kerajaan sedang berusaha melaksanakan mekanisme fast track perjanjian dua hala yang lebih khusus atau bekerjasama strategik baharu bersama negara-negara berisiko tinggi supaya proses membawa penjenayah ke Malaysia tidak terus terperangkap dalam kerenah birokrasi antarabangsa?
Ketiga, saya berpandangan bahawa kita tidak boleh hanya menghukum pelaku tetapi juga perlu meletakkan tanggungjawab yang lebih besar kepada penjenayah platform digital.
Hari ini, platform seperti META, Telegram, TikTok dan penyediaan perkhidmatan Internet mempunyai kemampuan teknologi untuk mengesan kandungan eksploitasi seksual kanak- kanak secara automatik.
Persoalannya, adakah mereka diwajibkan oleh undang-undang Malaysia untuk bertindak secara proaktif? Saya mencadangkan supaya kerajaan mempertimbangkan kewajipan undang-undang yang lebih tegas agar platform-platform ini melaksanakan sistem pengesanan aktif serta melaporkan sebarang aktiviti berkaitan kepada pihak berkuasa Malaysia dengan segera dan bukannya hanya menunggu laporan daripada pengguna.
Akhir sekali Tan Sri Yang di-Pertua, saya juga ingin menyentuh soal hak mangsa.
Pendakwaan rentas sempadan mungkin mengambil masa yang panjang tetapi setiap hari, gambar dan video eksploitasi itu terus beredar di Internet. Trauma mangsa akan terus berulang. Sebab itu kerajaan juga harus memberi perhatian kepada hak mangsa untuk mendapatkan pemadaman segera kandungan tersebut daripada pelayar pelayan antarabangsa. Kita bukan sahaja mahu menghukum pesalah tetapi juga mahu memulihkan maruah dan masa depan kanak-kanak yang menjadi mangsa.
Tan Sri Yang di-Pertua, kesimpulannya, saya menyokong rang undang-undang ini untuk diluluskan kerana niat dan prinsipnya amat penting dalam melindungi kanak-kanak negara ini. Namun saya berharap Yang Berhormat Menteri dapat memberi komitmen yang jelas di Dewan yang mulia ini bahawa aspek penguatkuasaan, keupayaan teknologi, kerjasama antarabangsa dan perlindungan dan pemulihan mangsa akan diperkukuhkan melalui perundangan kewangan dan dasar yang mencukupi. Undang-undang yang tegas mesti disertai dengan keupayaan untuk melaksanakannya. Hanya dengan itu sahaja benar- benar dapat memastikan tiada lagi kanak-kanak Malaysia menjadi eksploitasi seksual walaupun di mana sekali jenayah ini dilakukan. Sekian, terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua
Baik. Saya jemput pembahas terakhir, Putrajaya.
Datuk Dr. Radzi bin Jidin - Putrajaya
Terima kasih Tan Sri Speaker kerana memberi peluang untuk saya turut sama membahaskan pindaan rang undang-undang ini.
Pertama sekali, jika kita lihat akhir-akhir ini, jenayah seksual terhadap kanak-kanak semakin meningkat dan semakin ketara serta semakin menjadi-menjadi. Hampir setiap hari kita lihat kes-kes rogol, kes liwat, kes amang seksual yang melibatkan mangsa kanak-kanak keluar di media-media menjadi tajuk utama berita. Apa yang paling menyedihkan, pemangsa atau pelaku yang terlibat dalam jenayah seksual terhadap kanak-kanak ini adalah orang yang mempunyai hubungan amanah dengan kanak-kanak tersebut.
Dalam akta ibu, dalam fasal 16(2), jelaskan siapakah mereka yang mempunyai hubungan amanah ini termasuklah ahli keluarga, pengasuh, keluarga pengasuh, jurulatih, guru dan sebagainya. Mereka inilah yang paling mudah mendapat kepercayaan anak-anak ini. Ini cukup menyedihkan. Bagaimana anak-anak kita yang tidak tahu apakah sebenarnya berlaku menganggap ia nya sebagai satu kasih sayang, akhirnya mereka menjadi mangsa kepada jenayah seksual yang terus mewujudkan titik hitam dalam hidup mereka. Ini belum masuk kes-kes melibatkan pemangsa yang tidak dikenali, termasuk kes-kes yang berlaku di tempat awam.
Ini saya bercakap tentang jenayah seksual terhadap kanak-kanak yang berlaku secara fizikal. Kita tambah lagi apa yang sedang berlaku, jenayah seksual terhadap kanak- kanak yang berlaku di atas talian. Kesian anak-anak kita. Mereka melalui satu zaman yang cukup sukar. Bukan sahaja dari sudut emosi, tekanan kerana terdapatnya media sosial yang meluas tetapi juga membuka kepada ruang jenayah terhadap anak-anak ini. Oleh sebab itu, adalah amat penting untuk kita tidak mempolitikkan isu ini. Sebab itu saya cukup kecewa apa yang dibangkitkan oleh Jelutong sebentar tadi. Cuba menggambarkan seolah-olah Kelantanlah negeri yang paling teruk dengan jenayah seksualnya.
Jadi saya cari, Yang Berhormat Timbalan Menteri. Apakah artikel yang dirujuk oleh Jelutong tadi? Artikel bertarikh 16 Mac 2023, “Kelantan antara negeri yang tertinggi jenayah seksual” dan saya rujuk satu artikel lain bertarikh 15 Mei 2024, “Selangor catat jenayah seksual tertinggi”. Jadi tak perlu politikkan. Dari sudut number of penduduk, jumlah penduduk dan sebagainya, tentulah Selangor akan ke depan tetapi gambaran Jelutong ini berbahaya kerana cuba menggambarkan seolah-olah ia nya berlaku di negeri-negeri tertentu. Tidak. Kes ini, isu berkaitan jenayah seksual terhadap kanak-kanak ini adalah satu perkara yang kalau kita biarkan, ia nya akan memberi kesan cukup besar kepada masyarakat kita.
Sebab itu penting untuk kerajaan, saya mohon Yang Berhormat Timbalan Menteri usullah kepada kerajaan dalam kita membahaskan rang undang-undang ini untuk timbulkan kesedaran dalam kalangan ibu bapa dan juga anak-anak kita. Kadang-kadang anak-anak kita tak boleh bezakan tindakan ini sama ada ia nya satu tindakan kasih sayang daripada seorang pelatih, kasih sayang daripada seorang ahli keluarga atau ia nya lebih daripada itu. Kalau di luar negara, anak-anak didedahkan kepada konsep ini lebih awal. Jadi dia tahu, dia balik bercerita kepada ibu bapa, tadi ada orang buat begini. Di situlah bermula laporan polis dan sebagainya.
Sebab itu saya mohon kerajaan belanjalah sedikit, buat satu program besar-besaran, timbulkan kesedaran. Kadang-kadang nak bagi anak masuk ‘sorang-sorang’ dalam tandas awam pun tak selamat, Tan Sri. Kita rasa risau. Kes-kes liwat melibatkan anak-anak berlaku di tempat-tempat awam. Apa nak jadi? Sebab itu kerajaan dalam konteks ini perlu wujudkan satu pendekatan menyeluruh, wujudkan kesedaran dalam kalangan masyarakat dan ibu bapa harus mainkan peranan supaya timbul kesedaran dalam kalangan anak-anak mereka.
Datuk Dr. Radzi bin Jidin - Putrajaya
Berkaitan dengan akta ini, saya ingin menyentuh beberapa perkara Yang Berhormat Tan Sri Yang di-Pertua. Pertama, tentang pelaksanaan. Kita boleh ada peruntukan yang baik dalam akta ini. Namun begitu, cabaran dalam pelaksanaan juga kita perlu ambil kira.
Pertama, saya nak tanya apa yang berlaku sekiranya skop undang-undang di Malaysia dan di negara asing yang terlibat ini berbeza? Sebagai contoh, apakah akan berlaku sekiranya hukuman di negara yang terlibat adalah lebih ringan berbanding hukuman di Malaysia? Dan bagaimanakah jika takrifannya sedikit berbeza dengan di Malaysia? Itu pertama.
Yang kedua adalah bagaimana pula dengan kes-kes yang melibatkan warganegara Malaysia yang mana kesnya berlaku di luar negara dan laporannya dibuat kepada pihak berkuasa di sana? Bila pula laporan hendak dibuat pada pihak berkuasa di Malaysia? Dan jika laporan dibuat kepada dua-dua belah pihak, pihak mana yang akan mengambil tindakan terhadap laporan tersebut?
Saya bercakap tentang practicality dan kalau rakyat Malaysia katakanlah di luar negara ingin melaporkan, kepada siapa seharusnya yang mereka laporkan? Dan jika tindakan diambil, dah didakwa, dah buat penyiasatan hendak didakwa, pihak mana yang akan mendakwa? Jadi, ini lebih kepada konsep pelaksanaan. Kita perlu jelaskan perkara ini supaya rakyat dapat melihat dengan jelas apakah yang— ataupun bagaimanakah perkara ini yang akan dilaksanakan?
Seterusnya, saya ingin menyentuh juga tentang bagaimana dengan kes yang melibatkan penahanan warga Malaysia di lapangan terbang asing di negara asing yang dihantar balik ke Malaysia. Saya hendak ingin contoh apa yang berlaku kes di lapangan terbang di Australia tempoh hari apabila rakyat Malaysia dihantar balik kerana memiliki material berkaitan dengan jenayah seksual kanak-kanak? Dan saya hendak tanya apakah sebenarnya yang berlaku kepada kes tersebut?
Dia dah kena tahan di lapangan terbang di Australia kerana pegang bahan berkaitan dengan jenayah seksual terhadap kanak-kanak ini, kemudian dihantar balik ke Malaysia.
Apakah berlaku pada kes ini? Nanti kerajaan nak kena jelaskan kepada rakyat. Kalau tidak nanti kerajaan negara asing telah mengambil pendekatan baik, buat penyiasatan— menahan mereka kerana ada bahan-bahan berkaitan dengan jenayah seksual terhadap kanak-kanak, dihantar balik kepada Malaysia tetapi saya juga cari berita di Malaysia— tidak ada pun berita berkaitan dengan perkara tersebut yang disentuh di media-media ataupun oleh pihak Kerajaan Malaysia.
[Sambil menunjukkan sehelai kertas] Saya merujuk kepada perkara ini, “Australia menghantar pulang rakyat Malaysia miliki bahan penderaan seksual kanak-kanak”. Jadi, mohon Menteri memberi penjelasan berkaitan dengan perkara tersebut.
Dan saya juga ingin menyentuh apa yang disebut oleh Bukit Gelugor tadi, kes-kes di mana dah ada rekod di luar negara yang mereka ini penjenayah seksual terhadap kanak- kanak, dah ada rekod di luar negara. Adakah kita mempunyai rekod tersebut? Terutamanya kes yang melibatkan rakyat Malaysia.
Rakyat Malaysia yang dah kena hukuman di luar negara kerana ada kes jenayah seksual, katakan dah habis hukuman, dia balik ke Malaysia. Adakah kes yang di sana itu akan direkodkan? Kerana kita lihat dari sudut psikologi dan sejarahnya banyak kes-kes berulang yang melibatkan jenayah seksual terhadap kanak-kanak ini. Mohon penjelasan Yang Berhormat Menteri. Terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua
Baik, saya jemput Menteri menjawab.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) - Tuan M. Kulasegaran a/l V. Murugeson
Tan Sri Yang di-Pertua, bagi pihak Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), saya ingin mengucapkan setinggi penghargaan kepada lebih daripada 26 Ahli Yang Berhormat yang telah menyertai perbahasan di atas Rang Undang-undang Kesalahan-kesalahan Seksual terhadap Kanak- kanak (Pindaan) 2026.
Yang Berhormat Bakri, Yang Berhormat Masjid Tanah dan Yang Berhormat Kepong membangkitkan tentang isu prinsip dual criminality dan berkenaan kandungan eksploitasi seksual boleh dihasilkan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI). Tan Sri Yang di- Pertua, bagi menjawab soalan ini, kerajaan ingin menjelaskan bahawa isu dual criminality merupakan aspek pelaksanaan kerjasama antarabangsa dan bukannya penentu kepada kewujudan bidang kuasa jenayah Malaysia. Kerajaan mengakui bahawa isu tersebut mungkin timbul dalam kes tertentu, namun ia tidak menjejaskan keperluan untuk Malaysia terlebih dahulu mempunyai akses perundangan yang jelas bagi melindungi kanak-kanak yang mempunyai hubungan substantif dengan negara ini.
Tuan Yang di-Pertua
Menteri, kita boleh sambung esok?
Tuan M. Kulasegaran a/l V. Murugeson
Boleh, Tan Sri.
Tuan Yang di-Pertua
Boleh ya? Baik, Yang Berhormat, Mesyuarat Dewan hari ini ditangguhkan hingga jam 10.00 pagi, hari Selasa, 30 Jun 2026. Sekian, terima kasih.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
[Dewan ditangguhkan pada pukul 5.35 petang]