Katalog Hansard
[Timbalan Yang di-Pertua (Dato' Dr. Ramli bin Dato' Mohd Nor) **mempengerusikan Mesyuarat****]
Timbalan Yang di-Pertua - Dato' Dr. Ramli bin Dato' Mohd Nor
*Bismillahirrahmanirrahim.
[Membaca doa] Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum* dan selamat pagi Yang Berhormat-Yang Berhormat. Kita mula sesi pagi ini dengan Waktu Pertanyaan- pertanyaan Menteri. Dengan sedemikian saya mempersilakan Puan Hajah Rodziah binti Ismail, Yang Berhormat Ampang.
1. Puan Hajah Rodziah binti Ismail [Ampang]: Terima kasih Dato’ Yang di- Pertua. Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera. Ampang minta Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air menyatakan status pelaksanaan dan bilangan peserta industri dalam Corporate Renewable Energy Supply Scheme (CRESS), hasil penilaian semula kadar System Access Charge (SAC), dan implikasinya terhadap sasaran menjadi hab pusat data serantau dan kos operasi DC serta program CGPP dan BESS. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato' Dr. Ramli bin Dato' Mohd Nor
Silakan Yang Berhormat Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air untuk menjawab.
Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air - Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof
Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih Dato’ Yang di-Pertua.
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, kerajaan terus komited untuk memastikan peralihan tenaga negara dilaksanakan secara seimbang berdasarkan prinsip keselamatan tenaga, kemampuan kos dan kelestarian selaras dengan aspirasi Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara atau pun singkatannya NETR, termasuklah memperkukuh akses kepada bekalan elektrik hijau berdaya saing bagi menyokong agenda peralihan tenaga negara serta menarik pelaburan berkualiti tinggi termasuk sektor daripada sektor pusat data ataupun data centre (DC).
Yang Berhormat Ampang ada tiga soalan. Jadi, bahagian pertama program Corporate Renewable Energy Supply Scheme atau pun CRESS dan Semakan Sistem Akses (SAC). CRESS telah dilancarkan pada 26 Julai 2024 sebagai satu mekanisme pasaran yang membolehkan pengguna korporat mendapatkan bekalan elektrik tenaga hijau secara terus daripada pemaju tenaga boleh baharu atau pun TBB melalui akses kepada rangkaian grid.
Pelaksanaan CRESS turut menyokong aspirasi negara untuk mempercepat pembangunan TBB selaras dengan sasaran mencapai 70 peratus kapasiti terpasang TBB menjelang tahun 2050.
Sehingga Mei 2026 sebanyak sebelas pemaju CRESS telah berdaftar yang melibatkan lapan pengguna hijau atau pun green consumers yang terdiri daripada syarikat pusat data, industri teknologi tinggi dan sektor pembuatan. Jumlah kapasiti tenaga boleh baharu yang terlibat adalah sekitar 3 gigawatts. Penyertaan ini mencerminkan minat yang positif daripada pihak industri terhadap mekanisme bekalan elektrik hijau secara langsung khususnya bagi memenuhi permintaan pengguna korporat berskala besar.
Berhubung dengan System Access Charge atau pun SAC, kerajaan telah melaksanakan semakan kadar SAC pada Ogos 2025 bagi memastikan charge yang dikenakan adalah lebih kompetitif. Hasil semakan tersebut kadar SAC bagi bekalan tetap ataupun firm supply dengan izin, telah dikurangkan daripada 25 sen kilowatt jam kepada 20 sen kilowatt jam. Manakala bagi bekalan tidak tetap non-firm supply dengan izin, dikurangkan daripada 45 sen kepada 40 sen kilowatt jam.
Ini mewakili pengurangan 20 peratus bagi kategori firm supply dan 11 peratus bagi kategori non-firm supply. Pengurangan kadar SAC ini telah meningkatkan kebolehlaksanaan komersial projek TBB dan mengukuhkan daya tarikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan hijau.
Sebarang pelarasan kepada SAC perlu dibuat secara berhati-hati berdasarkan prinsip pemulihan kos munasabah atau pun dengan izin, reasonable cost recovery supaya kos yang dibayar oleh pengguna CRESS tidak dipindahkan kepada pengguna elektrik yang lain.
Untuk bahagian kedua iaitu Corporate Green Power Programme (CGPP), dan Malaysia Battery Energy Storage System, tender MyBEST. Berhubung dengan CGPP program ini telah memainkan peranan penting sebagai mekanisme perintis kepada pelaksanaan akses pihak ketiga (third party access) dalam sektor elektrik negara.
Walau bagaimanapun pelaksanaan CGPP mempunyai beberapa limitasi struktur memandangkan ia beroperasi melalui mekanisme virtual power purchase agreement. Sehubungan dengan itu, CRESS telah diperkenalkan sebagai evolusi pasaran dengan mengambil kira prinsip pengguna grid secara adil, ketulusan kos serta pemulihan kos sistem melalui SAC.
Selain itu kerajaan turut memperkenalkan Malaysia Battery Energy Storage System, tender MyBEST bagi mempercepatkan pembangunan sistem penyimpanan tenaga bateri atau battery energy storage system. Penggunaan BESS akan membantu meningkatkan fleksibiliti grid, mengurangkan isu intermittency TBB, memperkukuh kestabilan sistem elektrik dan menyokong keperluan bekalan yang lebih berkualiti daripada sektor pusat data yang memerlukan tahap kebolehpercayaan bekalan yang sangat tinggi.
Secara keseluruhannya, kerajaan berpandangan bahawa CRESS dan penggunaan BESS merupakan komponen yang saling melengkapi dalam usaha mempercepatkan peralihan tenaga negara serta menyokong sasaran negara mencapai 70 peratus kapasiti terpasang tenaga boleh baharu menjelang tahun 2050.
Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Terima kasih Yang Berhormat Menteri. Yang Berhormat Ampang, silakan soalan tambahan.
Puan Hajah Rodziah binti Ismail - Ampang
Terima kasih Yang Berhormat Menteri. Saya dapati sebenarnya kalau ikut daripada 2024 yang lepas, kita lihat di sini, kementerian PETRA telah pun menetapkan satu hala tuju yang baiklah pada saya iaitu kita mahu lihat penggunaan solar yang lebih menyeluruh dan bersepadu di Semenanjung Malaysia, khususnya dengan membenarkanlah CRESS ni wujud, tetapi kita nampak semacam adanya sedikit pelbagai kos-kos sampingan seperti servis SAC yang saya sebut dan yang telah pun dijawab oleh Yang Berhormat Menteri tadi, yang kita rasakan seolah-olahnya ada sedikit halanganlah kepada pihak-pihak yang ingin masuk ataupun terlibat.
Jadi, soalan saya Dato’ Yang di-Pertua, Ampang ingin meminta penjelasan daripada Yang Berhormat Menteri berkenaan bilangan perjanjian CRESS yang telah pun disahkan yang saya tadi pun dengar agak rendah, ya agak rendah semenjak program ini dilancarkan. Jadi, memandangkan kerajaan nak meletakkan Malaysia ni sebagai hab yang terkemuka di serantau, saya yakin perkara ini perlu perhatian.
Jadi, tambahan daripada soalan itu selain bilangan yang saya perlukan, soalan saya apakah halangan utama sebenarnya— apakah yang datang daripada segi regulatory kita ataupun teknikal ataupun dalam konteks komersial juga. Sebab yang menyekat— saya nampak benda ni banyak menyekat, boleh dikatakan yang datang berjumpa dan sebagainya katanya menyekat daripada off-taker untuk memeterai perjanjian.
Dan, seterusnya Yang Berhormat, tambahan adalah apakah langkah- langkahlah, kalau itu halangannya, apakah langkah-langkah yang sedang diambil oleh kerajaan bagi mempercepatkan kementerian untuk memberikan perjanjian ini dapat dimeterai. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Yang Berhormat Menteri.
Datuk Amar Haji Fadillah bin Haji Yusof
Terima kasih Yang Berhormat Ampang. Terima kasih Yang di-Pertua, sepertimana saya katakan awal tadi ada 11 syarikat yang telah pun memohon dan daripada tiga syarikat tersebut, tiga sudah pun berada di tahap yang agak advance. Maknanya mereka sudah pun ada komitmen MoU dengan pembeli yang kemudian untuk membuat proses. Maknanya ada penilaian-penilaian yang perlu dibuat oleh mereka, kajian sebelum mereka memuktamadkan dari segi di mana dan apa yang harus dilaksanakan untuk membekalkan CRESS tersebut.
Untuk makluman, isu— kita dah berjumpa dengan libat urus dengan industry players. Bila saya kata industry players ni, dia termasuklah juga power generator, dia termasuk juga pengguna, termasuk juga bank yang akan memberi pinjaman kepada pihak dan pelbagai lagilah stakeholders yang terlibat. Dalam libat urus pada 25 Mei tersebut, kita mendengar dan mendapat maklum balas dan kita dapat— boleh katakan summarize-lah dia punya isu-isu yang dikenal pasti. Pertama sekali ialah berhubung kait dengan bankability, kebolehbankan projek TBB untuk menarik pembiayaan daripada bank.
Yang kedua ialah sebelum ini banyak kontrak yang perlu ditandatangani kalau mereka hendak melaksanakan CRESS. Jadi kita nak mengenal pasti struktur kontrak dan perjanjian komersial ini akan lebih dipermudahkan.
Yang ketiga ialah memperkukuh ketulusan berkaitan mekanisme renewable energy certificate bagi memenuhi keperluan ESG syarikat antarabangsa, yang ni perlu juga. Yang keempat ialah menilai semula struktur sistem akses caj supaya isu yang dibangkitkan oleh industry players pertama sekali ialah dia kena ada–– Yang kedua, dia kena predictability dan yang ketiga ialah transparency. Jadi, ini yang sedang kita perincikan. Kita sudah dapat maklum balas secara lisan dan juga secara bertulis dan akan diperincikan oleh ST sebelum kita umumkan apa lagi langkah-langkah yang boleh kita ambil untuk memastikan bahawa sistem ini adalah yang kompetitif, yang baik untuk industry players. Pada masa yang sama, kita nak menjaga tiga perkara asas dalam negara kita.
Pertamanya keterjaminan bekalan. Kedua, kemampuan dan ketiga sustainability. Jadi, grid system semuanya kena jaga juga supaya tidak akan terjejas dari segi keterjaminan bekalan. Akhirnya kepada rakyat, kita tidak akan terjejas bila kita memperkenalkan apa sahaja kaedah untuk menarik pelabur dan menjamin kelangsungan ekonomi negara kita. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Terima kasih Yang Berhormat Menteri. Silakan Yang Berhormat...
Dato’ Hajah Siti Zailah binti Mohd Yusoff - Rantau Panjang
Ya, terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
...Rantau Panjang.
Dato’ Hajah Siti Zailah binti Mohd Yusoff - Rantau Panjang
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Terima kasih di atas peluang untuk menanyakan soalan tambahan. Saya ingin tahu apakah cabaran terbesar dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai hab digital dan tenaga hijau ASEAN sambil mengekalkan keselamatan tenaga dan kemampanan ekonomi negara.
Sejauh mana landskap bekalan tenaga hijau di Malaysia yang cukup kompetitif untuk bersaing dengan negara-negara serantau bagi menjamin Malaysia menjadi destinasi pilihan kepada pelabur asing untuk mengembangkan perniagaan mereka dan dalam masa yang sama Malaysia tidak menggadaikan kedaulatan tenaga semata-mata demi keuntungan jangka pendek. Sejauh mana galakan diberi kepada syarikat-syarikat swasta untuk menjadikan mereka syarikat IPP yang menyertai sektor bekalan tenaga bersih sekali gus mempercepatkan langkah Malaysia ke arah mencapai sasaran pelepasan gas rumah kaca sifar menjelang 2050. Minta penjelasan.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Silakan Yang Berhormat Menteri.
Datuk Amar Haji Fadillah bin Haji Yusof
Terima kasih Yang Berhormat Rantau Panjang. Seperti mana yang saya katakan tadi, pertama sekali kita melihat bahawa negara kita perlu memastikan keterjaminan bekalan. Kedua, bekalan tenaga yang mampu dibiayai bukan sahaja oleh rakyat kita tapi juga oleh industri. Yang ketiga, kita menjaga kelestarian alam.
Bagaimana kita nak imbangi? Pertama sekali untuk kita menghasilkan tenaga yang boleh baharu, tenaga hijau sebab kita beralih kepada ekonomi hijau dan juga ekonomi digital. Jadi, renewable energy adalah komitmen negara kita menjelang 2050, kita kena bekalkan tenaga boleh baharu sebanyak 70 peratus. Sekarang ni kita dah mencapai hampir 33 peratus. Menjelang 2030, target kita, 35 peratus. Insya- Allah, kita akan capai lebih awal lagi. 2040, kita kena capai 40 peratus, kemudian 2050 iaitu 70 peratus. Itu komitmen kita.
Dan, dalam itu kita kena melihat dari segi bekalan tenaga, apakah mix, apa campuran yang kita nak ada di negara kita? Yang paling cepat sekarang ini solar dan solar diperlukan juga sebab solar ini sifatnya tidak tentu. Siang kadarnya tinggi, malam tak ada. Jadi, bagaimana kita nak jimatkan tenaga yang dikeluarkan pada waktu siang supaya kita dapat simpan untuk dijanakan pada waktu malam. Sebab itu kita kena perkenalkan juga battery storage system. Ini semua dah kita buat.
Dan, bila kita laksanakan ia nya dibuat secara open tender untuk menggalakkan pertama sekali penglibatan secara telus semua pihak. Ada juga dari pihak luar negara yang berminat dan dasar kita ialah kalau ada daripada luar negara, majoriti shareholder mesti di kalangan syarikat tempatan. 51 mesti daripada ekuitinya dimiliki oleh rakyat tempatan. Itu dasar yang kita laksanakan untuk memastikan bahawa ia nya akan membantu membangunkan juga industri tempatan kita.
Sebab itu yang— bagaimana kita nak imbangi, pertama keperluan menghasilkan tenaga tapi pada masa yang sama memastikan grid sistem kita terjamin. Ini cabaran yang paling tinggi. Tapi pada masa yang sama ialah akan ada pihak yang boleh memberi pinjaman, ini juga menjadi isu yang perlu kita imbangi.
Kalau kita nak membuat program tetapi tidak ada pihak yang memberi pinjaman, jadi ia nya tidak akan berjaya.
Sebab itulah kita melaksanakan engagement libat urus dengan semua pihak dan akhirnya apa yang kita perkenalkan, alhamdulillah setakat ini misal kata CRESS, CREAM, ATAP yang kita perkenalkan sambutan yang begitu baik sekali sebenarnya daripada bukan sahaja rakyat kita tetapi juga daripada syarikat dalam negara dan juga luar negara yang ingin melabur dan melihat bahawa Malaysia dah ada dasar yang jelas, strategi yang begitu baik sekali dan ia nya friendly bukan sahaja untuk syarikat tetapi juga memenuhi kehendak komitmen kita bukan sahaja pada negara tetapi pada dunia iaitu kelestarian alam sekitar akan kita jaga dengan sebaik mungkin. Terima kasih Dato’ Yang di-Pertua.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Terima kasih YB. Majlis selanjutnya ke soalan yang kedua. Dipersilakan Tuan Haji Mohd Syahir bin Che Sulaiman, Yang Berhormat Bachok. Silakan.
2. Tuan Haji Mohd Syahir bin Che Sulaiman [Bachok]: Terima kasih Dato’ Yang di-Pertua. Soalan saya kepada sahabat saya Yang Berhormat Menteri yang segak berbaju hijau hari ini. Minta Menteri Ekonomi menyatakan langkah mitigasi yang telah diambil melalui Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) bagi menangani peningkatan kehilangan pekerjaan dan pengecilan operasi perniagaan susulan krisis tenaga dan ketidaktentuan ekonomi global, serta hasil pelaksanaannya setakat ini.
Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Silakan Yang Berhormat Menteri Ekonomi untuk menjawab.
Menteri Ekonomi - Tuan Haji Akmal Nasrullah bin Mohd Nasir
Terima kasih Dato’ Yang di-Pertua. Harap warna ini meredakan Bachok sikit.
[Ketawa] Yang mana kerajaan memandang serius isu kehilangan pekerjaan dan pengecilan operasi khususnya dalam keadaan ekonomi global masih tidak menentu, tekanan bekalan, tekanan harga dan juga gangguan rantaian bekalan itu masih ada.
Setiap kehilangan pekerjaan itu juga akan memberi kesan kepada pendapatan keluarga seterusnya komitmen isi rumah dan juga soal keyakinan dari segi perjalanan ekonomi negara. Sebab itu melalui MTEN, Majlis Tindakan Ekonomi Negara, kita menyelaras langkah mitigasi secara bersepadu termasuk perlindungan pekerjaan, kelangsungan perniagaan, kestabilan bekalan serta daya tahan ekonomi negara.
Jadi yang pertama Dato’ Yang di-Pertua, kita bagi tumpuan untuk kelangsungan operasi PMKS. Melalui Bank Negara Malaysia, ada satu yang dipanggil dengan izin, SME Stabilisation Relief Facility ataupun Kemudahan Bantuan Kestabilan PKS yang berjumlah RM5 bilion. Jadi sehingga 18 Jun 2026, pembiayaan sebanyak lebih RM700 juta telah diluluskan kepada lebih 1,000 PKS. Maka, kita ada lebih RM4 bilion lagi yang peruntukan masih tersedia. Maksudnya ada ruang mencukupi untuk terus kita membantu syarikat menguruskan aliran tunai dan mengurangkan gangguan operasi.
Selain itu, SJPP juga kita ada dana tambahan sebanyak RM5 bilion yang kita sediakan oleh kerajaan. Bagi pihak PKS yang menghadapi cabaran, nasihatnya untuk berhubung dengan institusi kewangan dan kita telah minta supaya mereka ini memberi komitmen untuk menguruskan permohonan dalam tempoh tujuh hari bekerja.
Kedua, kita melihat dalam soal pakej daya tahan ekonomi ataupun namanya PACE, Progressive Acceleration for Capability Employment yang mana bernilai RM710 juta untuk intervensi untuk melindungi sektor pekerjaan. Di bawah PACE ini, lebih RM580 juta kita salurkan atau sediakan melalui PERKESO untuk kita kukuhkan Sistem Insurans Pekerjaan.
RM100 juta disediakan pula untuk HRDC menjalankan latihan dan penempatan kerja juga yang mana disokong oleh platform MYFutureJobs untuk membantu padanan pekerjaan. Kemudian, ada RM20 juta untuk kita latih pekerja gig melalui Perbadanan Tabung Pendidikan Kemahiran ataupun PTPK dan juga RM10 juta melalui TalentCorp.
Dan ketiga, kerajaan juga menumpukan kepada usaha untuk kita memperkukuhkan pemantauan bekalan dan juga harga barangan keperluan serta bahan mentah kritikal kerana sekiranya berlaku gangguan yang ketara, itu akan menyebabkan operasi tidak dapat diteruskan.
Jadi Dato’ Yang di-Pertua, berdasarkan intervensi yang kita lakukan ini, setakat April 2026, jumlah tenaga buruh negara meningkat kepada 17.33 juta orang manakala penduduk bekerja terus meningkat kepada 16.82 juta orang. Kadar pengangguran berubah sedikit. Untuk bulan Mac 2.9 peratus, April tiga peratus tetapi perkara ini masih berada di bawah paras empat peratus yang kita anggap sebagai penggunaan kadar guna tenaga penuh.
Seterusnya Dato’ Yang di-Pertua, untuk saya dua lagi maklumat di sini iaitu pertama, untuk pekerjaan. Dari segi trend kehilangan pekerjaan, 6,197 orang pekerja yang kehilangan pekerjaan untuk bulan Jun sehingga 22 Jun, tapi kalau berbanding dengan Mei, jumlahnya 7,766 orang. Jadi, kita jangkakan kadar ini boleh dikawal.
Manakala, untuk dari segi pengambilan ataupun penempatan semula pekerjaan sehingga 12 Jun, MYFutureJobs merekodkan peningkatan penempatan sebanyak 55 peratus iaitu untuk April 12,119 orang kepada 18,756 orang untuk Mei.
Ini menjadikan jumlah keseluruhan penempatan pekerjaan bagi tahun 2026 adalah sebanyak 62,644. Jadi, kita pantau juga dari segi bagaimana pengambilan itu masih berlaku dalam pasaran. Terima kasih Dato’ Yang di-Pertua.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Terima kasih Menteri. Yang Berhormat Bachok, soalan tambahan.
Tuan Haji Mohd Syahir bin Che Sulaiman - Bachok
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Terima kasih YB Menteri atas jawapan dan kita harapkan langkah- langkah yang diambil itu ada keberhasilannyalah.
Tuan Yang di-Pertua, lebih 7,000 pekerja hilang pekerjaan pada bulan April dan lebih 38,000 hilang pekerjaan sejak awal tahun. Sebahagian besarnya berumur 25 hingga 40 tahun. Setiap angka ini mewakili satu— sebuah keluarga, Tuan Yang di-Pertua. Jadi, perkara ini tidak boleh dipandang ringan.
Tuan Haji Manndzri bin Haji Nasib - Tenggara
[Bangun]
Tuan Haji Mohd Syahir bin Che Sulaiman - Bachok
Soalan tambahan saya, adakah kerajaan bercadang untuk memperkenalkan insentif sementara kepada majikan yang mengekalkan tenaga kerja sedia ada bagi mengurangkan risiko pemberhentian pekerja secara besar-besaran sekiranya ketidaktentuan global ini terus berlarutan.
Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie bin Apdal - Semporna
[Bangun]
Tuan Haji Mohd Syahir bin Che Sulaiman - Bachok
Saya kira perkara ini wajar dipertimbangkan.
Saya juga ingin bertanya, bilakah penerangan Menteri berhubung krisis tenaga global ini akan dibentangkan di Dewan yang mulia ini, sebagaimana saya baca laporan berita disebut oleh Yang Berhormat Menteri ketika berucap pada perhimpunan bulanan Kementerian Ekonomi tempoh hari. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Silakan Yang Berhormat Menteri untuk menjawab.
Tuan Haji Akmal Nasrullah bin Mohd Nasir
Terima kasih Dato’ Yang di- Pertua. Terima kasih kepada Bachok kerana mengikuti secara rapat apa yang dilaksanakan di peringkat Kementerian Ekonomi.
Dato’ Mohd Isam bin Mohd Isa - Tampin
[Bangun]
Tuan Haji Akmal Nasrullah bin Mohd Nasir
Dari segi trend kehilangan pekerjaan sebagai contoh, jika kita teliti untuk tahun 2026, sebenarnya jumlah yang tertinggi itu berlaku pada bulan Januari iaitu yang mana kehilangan itu sebanyak 10,658 orang. Bila kita selidik dan cuba memahami trend tersebut kerana banyak proses untuk mereka berpindah tahun dan menguruskan kembali dari segi struktur perniagaan mereka.
Tetapi dari segi trend yang berlaku ini, maksudnya kita masih terkawal berlaku pemberhentian pekerjaan tapi pada masa yang sama kerana itu kita penting menilai pengambilan itu berlaku ataupun tidak. Ini kerana sekiranya pihak industri melakukan pengecilan operasi dan bersifat long-term, maksudnya mereka tidak akan mengambil pekerja lagilah. Cuma, ketika ini bila ada kalau berlaku gangguan sekali pun, ia nya hanya bersifat sementara.
Sementara itu dari segi bantuan bagaimana pihak kerajaan kerana kita melihat krisis ini masih tertumpu kepada soal bekalan, instead of isu— maksudnya di peringkat supply instead of dekat demand, dengan izin Yang di-Pertua. Jadi sebab itu, kaedah yang kita laksanakan dari segi insentif yang kita nyatakan itu kita tertumpu satu, kepada PKS itu sendiri supaya mereka dapat teruskan operasi yang kita sebut tadi, Bank Negara RM5 bilion, SJPP RM5 bilion. Maksudnya untuk aliran tunai, kerajaan sediakan RM10 bilion kemudahan berkenaan. Alhamdulillah, memang perkara itu membantu sedikit sebanyak ada lebih 1,000 PKS yang telah memanfaatkan aliran tunai berkenaan.
Pada masa yang sama, dari segi perlindungan tadi, memang yang saya nyatakan tadi untuk PACE, yang kita perkemaskan lagi sistem perlindungan yang sedia ada kerana kita tidak lihat ada intervensi yang cuba sengaja untuk mewujudkan perkara yang luar biasa kerana trend itu masih berada pada tahap contohnya unemployment itu 2.9 dan tiga peratus.
Untuk dari segi isu yang lebih mendalam untuk peringkat keterangan yang kita akan sampaikan dalam Parlimen, insya-Allah, saya telah kemukakan surat kepada Parlimen yang mana kita akan nyatakan kenyataan Menteri dan harap Parlimen benarkan untuk perbahasan pada Isnin minggu depan. Terima kasih Dato’ Yang di-Pertua.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Terima kasih Yang Berhormat. Dipersilakan Yang Berhormat Tenggara.
Tuan Haji Manndzri bin Haji Nasib - Tenggara
Bismillahirrahmanirrahim. Terima kasih Yang Berhormat Speaker.
Saya ingin membacakan Yang Berhormat Menteri, pada tahun ini di World Economic Forum Annual Meeting di Davos dinyatakan bahawa 10 tahun yang akan datang, dunia akan berdepan dengan satu situasi di mana 1.2 bilion saja pekerjaan tapi ada 400 pekerjaan saja yang bersedia untuk masyarakat dunia. So, saya kira Malaysia juga tidak akan terlepas.
Jadi, saya nak bertanya. Adakah pihak kementerian merancang sebagaimana yang disebut tadi itu secara lebih terperinci untuk mengkaji semula Rancangan Malaysia Ketiga Belas mahupun belanjawan kita yang lepas supaya bersedia mendepani keadaan ini? Ini kerana saya yakin dan percaya, ia juga akan menyebabkan penyesuaian di peringkat TVET juga, di peringkat pengajian tinggi dan juga di peringkat sekolah untuk menghadapi cabaran 10 tahun yang mendatang berkaitan dengan world job crisis ini. Sekian, terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Silakan Yang Berhormat Menteri.
Tuan Haji Akmal Nasrullah bin Mohd Nasir
Terima kasih Dato’ Yang di- Pertua. Terima kasih kepada Tenggara. Soalan ini lebih luas yang mana tadi kita berbicara soal tekanan krisis tetapi Yang Berhormat Tenggara membangkitkan perkara struktur berkenaan dengan pekerjaan kita.
Tuan Haji Akmal Nasrullah bin Mohd Nasir
Kalau kita lihat dari segi penyertaan dalam RMK13 sekalipun, memang sebenarnya negara sedar untuk tahap pekerjaan kita ini, perlu ditingkatkan dari segi nilai tambah dalam rantaian yang mereka sertai.
Jadi, sebagai contoh, kita telah nyatakan dengan jelas usaha negara ke arah industri yang high-growth high-value (HGHV) supaya pendidikan dari segi tenaga kerja, dari segi kemahiran yang kita kendalikan itu, ia akan terus ditingkatkan mutunya untuk memenuhi syarat berkenaan. Tapi pada masa yang sama, sudah pasti industri-industri yang kita tumpukan itu juga memerlukan usaha yang melangkaui bukan hanya pihak kerajaan, tapi juga pihak swasta.
Contohnya, bila kita bercakap soal teknologi, walaupun ketika ini, contohnya kemasukan data centre yang banyak dan sebagainya, ia akan menjadi sebagai asas kepada negara untuk terus menuju ke arah teknologi yang lebih tinggi, termasuk juga dari segi pembinaan semikonduktor dan juga, dari segi nilai-nilai tambah ataupun nilai ciptaan yang baharu yang kita boleh ceburi untuk industri yang lebih sofistikated ataupun kompleks, kerana dengan ada perlindungan berkenaan, itu akan lebih memberi jaminan soal tenaga kerja kita ini untuk terus memenuhi permintaan dari segi kemahiran tersebut, bukan sekadar untuk kegunaan tempatan, tetapi juga keupayaan kita bersaing di peringkat antarabangsa. Terima kasih Dato’ Yang di- Pertua.
Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie bin Apdal - Semporna
Dato’ Speaker, dengan izin?
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Yang Berhormat?
Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie bin Apdal - Semporna
Dengan izin, kalau dapat kerana perkara ini penting juga ini, ekonomi ini.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Minta maaf, Yang Berhormat. Saya nak teruskan dengan soalan yang ketiga. Terima kasih, Yang Berhormat Semporna. Majlis ke soalan yang ketiga. Dipersilakan, Datuk Seri Utama Ir. Hasni bin Mohammad, Yang Berhormat Simpang Renggam.
3. Datuk Seri Utama Ir. Hasni bin Mohammad [Simpang Renggam]: Terima kasih, Dato’ Yang di-Pertua. Pada pagi ini, saya meminta Menteri Kewangan untuk menyatakan rasional di sebalik pengumuman kerajaan untuk menyeragamkan pelaksanaan penyasaran subsidi bahan api dengan diesel yang kini turut menggunakan MyKad. Apakah kelayakan 200 liter bagi kedua-dua bahan api mencukupi untuk kegunaan rakyat. Terima kasih
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Silakan, Yang Berhormat Menteri Kewangan.
Menteri Kewangan II - Datuk Seri Amir Hamzah Azizan
Dato’ Yang di- Pertua. Terima kasih, Simpang Renggam. Secara rumusannya, Kerajaan MADANI melaksanakan pembaharuan penyasaran subsidi diesel atas tiga alasan utama.
Pertama, konflik Asia Barat yang melonjakkan harga bahan api dan mengganggu rangkaian bekalan bahan api dunia telah menambah perbelanjaan subsidi bahan api dan mengancam keterjaminan bekalan bahan api negara.
Kedua, jurang harga yang ketara antara harga diesel bersubsidi di Sabah dan Sarawak dengan harga pasaran meningkatkan aktiviti penyeludupan selain tiris kepada bukan warganegara yang tidak sepatutnya menikmati subsidi.
Ketiga, kejayaan BUDI95 yang diterima rakyat membuktikan bahawa kaedah pengesahan kelayakan subsidi bahan api melalui MyKad adalah efisien dan berkesan. Justeru, kerajaan melanjutkan pelaksanaan BUDI MADANI kepada diesel.
Seperti mana Ahli Yang Berhormat sedia maklum, konflik Asia Barat telah melonjakkan harga minyak mentah dunia, melepasi USD120 setong dan Malaysia tidak terkecuali daripada tempias krisis ini. Subsidi petrol dan diesel sekitar RM800 juta pada bulan Januari dan Februari sebulan telah melonjak hampir RM5 bilion sebulan untuk Mac dan April.
Walaupun terdapat petanda positif ke arah persetujuan perdamaian antara Amerika Syarikat dan Iran, harga minyak dunia dijangka kekal tinggi berbanding sebelum konflik bermula. Selain bekalan fiskal yang bertambah, hal yang lebih penting ialah kelangsungan bekalan bahan api negara.
Walaupun kerajaan bersama PETRONAS bertungkus-lumus mempelbagaikan sumber bekalan bagi memastikan kelangsungan bekalan bahan api negara, akan tetapi, usaha ini akan sia-sia sekiranya isu ketirisan tidak ditangani dengan tegas. Hal ini lebih ketara di Sabah dan Sarawak kerana bukan warganegara juga menikmati harga diesel bersubsidi RM2.15.
Jurang harga yang besar dengan negara jiran mewujudkan ruang penyeludupan yang sukar dibendung walaupun penguatkuasaan telah ditingkatkan.
Sebagai petunjuk jelas, jumlah diesel yang terjual di stesen minyak di Sabah, Sarawak pada bulan Mac dan April 2026 telah mencecah 200 juta liter sebulan.
Ia dianggarkan dua kali ganda lebih tinggi berbanding tahap yang sepatutnya berdasarkan bilangan kenderaan diesel yang berdaftar. Penetapan harga runcit pada tahap tanpa subsidi di seluruh negara akan membantu menutup ketirisan ini.
Oleh itu, sepertimana yang diumumkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri pada 21 Jun lalu, pembaharuan penyasaran subsidi diesel dilaksanakan meliputi pertama, harga diesel di pam yang seragam iaitu harga tanpa subsidi di seluruh negara.
Kedua, cara tunggal bagi mengurus subsidi bahan api iaitu rakyat memanfaatkan subsidi RON95 dan diesel melalui MyKad sebagai kaedah pengesahan kelayakan dan ketiga, harga diesel bersubsidi turun kepada RM2.10 seliter untuk dinikmati rakyat yang layak.
Pembaharuan BUDI MADANI membawa dua impak utama. Pertama, kelangsungan bekalan diesel terjamin di pasaran negara dan rakyat terus menikmati diesel pada harga yang lebih rendah. Ketirisan akibat penyeludupan dan penyalahgunaan oleh bukan warganegara dan industri dapat dibendung dengan lebih berkesan apabila harga di pam ditetapkan pada harga pasaran, sekali gus menjaminkan kelangsungan bekalan di dalam pasaran negara.
Malah, pembaharuan ini dijangka menjimatkan perbelanjaan subsidi sebanyak RM2 bilion setahun yang memberi peluang kepada kerajaan untuk mengagihkan sebahagian penjimatan untuk menurunkan harga diesel bersubsidi kepada RM2.10 berbanding RM2.15 seliter. Bermakna, pembaharuan ini membolehkan rakyat Malaysia mendapat keistimewaan sebagai warganegara dengan menikmati diesel pada harga lebih rendah.
Mengenai kelayakan BUDI MADANI sebanyak 200 liter, berdasarkan data penggunaan sebenar BUDI95 sejak kita mula pada bulan Oktober 2025 sehingga bulan Mei 2026, hanya kurang daripada satu peratus pengguna BUDI95 menggunakan lebih daripada 200 liter RON95 secara konsisten. Ini bermakna tiap- tiap bulan, dia menggunakan lebih tapi dia kurang pada satu peratus.
Merujuk kepada data penggunaan diesel oleh statistik DOSM, lebih 80 peratus pengguna mencatat penggunaan di bawah paras 200 liter sebulan, dengan purata penggunaan sekitar 140 liter sebulan.
Namun, mengambil kira majoriti kenderaan diesel rakyat ialah jenis jip dan pick-up, kerana menjadi pengangkutan utama barangan untuk peniaga kecil dan kenderaan penumpang di pendalaman, kerajaan menyediakan kelayakan tambahan BUDI MADANI diesel 100 liter yang boleh dipohon. Berdasarkan data DOSM, 95 peratus pengguna diesel menggunakan kurang daripada 300 liter sebulan. Dengan ini, kelayakan 300 liter sebulan mencukupi untuk rakyat terbanyak.
Melalui mekanisme MyKad, subsidi kini hanya untuk rakyat Malaysia, sekali gus menutup ruang ketirisan yang membazirkan, bukan sahaja subsidi dari wang rakyat, tetapi bekalan bahan api yang amat kritikal pada waktu krisis ini. Saya juga ingin menegaskan, sekali lagi. Di saat krisis ini, kita mahu bekalan diesel kekal di pasaran negara. Kita mahu rakyat terus menikmati diesel pada harga yang bersubsidi. Pembaharuan ini boleh menutup ketirisan, menjamin bekalan di saat krisis dan memastikan hanya rakyat Malaysia mempunyai keistimewaan menikmati subsidi. Sekian, terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato' Dr. Ramli bin Dato' Mohd Nor
Terima kasih Yang Berhormat Menteri. Yang Berhormat Simpang Renggam, soalan tambahan.
Datuk Seri Utama Ir. Hasni bin Mohammad - Simpang Renggam
Terima kasih Dato’ Yang di-Pertua. Penghargaan kepada kerajaan, Yang Berhormat Menteri, tahniah di atas penjelasan yang diberikan. Cuma, tahniah di atas keberanian politik dan juga komitmen kerajaan untuk membuat pembaharuan kepada penyasaran bantuan subsidi BUDI MADANI ini dapat hingga mengelakkan ketirisan dan dapat menjimatkan duit kerajaan sehingga RM2 bilion.
Yang Berhormat Menteri, tadi ada menyatakan tentang laporan survei perbelanjaan isi rumah yang menunjukkan bahawa 80 peratus pengguna subsidi ini adalah kurang daripada 200 liter dan 95 peratus menggunakan kurang daripada 300 liter.
Jadi, berdasarkan laporan atau survei tersebut, apakah sedikit penjelasan yang boleh Yang Berhormat Menteri berikan berkenaan dengan sekiranya analisis dibuat terhadap yang lima peratus atau kurang itu tadi, kepada golongan yang mungkin amat berkeperluan tinggi seperti petani, nelayan, pekebun kecil, peniaga mikro di luar bandar termasuk di Sabah dan Sarawak? Mungkin daripada 200 pada pembaharuan ini, ditambah lagi 100 liter. Tapi, apa kata ditambah lagi 500 liter mungkin untuk Sabah, Sarawak.
Jadi, berdasarkan analisis, sekiranya ada, adakah golongan-golongan di luar bandar, golongan yang saya sebutkan tadi itu terkesan dan kalau terkesan apakah mekanisme yang khusus di pihak kementerian untuk memastikan agar golongan ini tidak tercicir? Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato' Dr. Ramli bin Dato' Mohd Nor
Silakan Yang Berhormat Menteri.
Datuk Seri Amir Hamzah bin Azizan
Terima kasih Simpang Renggam kerana soalan tambahan itu. Dato’ Yang di-Pertua, kerajaan sentiasa peka untuk memastikan bila kita ada mekanisme yang kita jalankan. Mekanisme yang kita ada, ada asas yang kukuh dan mekanismenya ialah satu benda yang boleh menyenangkan untuk dia dapat digunakan.
Kalau kita tengok dari segi pengalaman kita, bila kita memperkenalkan BUDI95, ada beberapa prinsip yang penting. Yang pertama, kita kena ingat yang apa yang kita nak ialah subsidi yang bersasar yang sampai kepada rakyat kita. Kita nak mengurangkan atau menghentikan ketirisan kepada bukan warganegara. Jadi, kita menggunakan MyKad sebagai asas untuk digunakan.
Dan alhamdulillah, walaupun lebih daripada tiga juta transaksi yang dilaksanakan setiap hari untuk pembelian minyak, dalam sistem yang kita ada, bawah BUDI95, tidak ada isu dari segi penunaian subsidi yang digunakan di stesen- stesen minyak. Ini termasuk juga stesen-stesen di dalam area pedalaman. Jadi, alhamdulillah, sistem itu dah nampak baik sekali.
Dari segi kuota yang saya terangkan, untuk BUDI95 kita pun dah ada data.
Masa kita mula BUDI95, kita mulakan dengan 300, pasal kita tak nak orang ketinggalan. Tapi, dengan data yang kita ada dari bulan Oktober sampai bulan Mei tahun ini, kita nampak hanya kurang pada satu peratus pada pengguna menggunakan lebih daripada 200 liter sebulan. Ini kerana tiap-tiap orang yang nak mendapat subsidi, dia cucuk IC dia, jadi kita ada data yang menunjukkan.
Jadi, kadang-kadang kita kena memberi masa di mana transaksi itu berlaku dan kita boleh melihat. Kalau ada apa-apa kepincangan, kerajaan akan menyemak balik untuk melihat di mana dia boleh ditambah baikkan proses and kita telah buat juga masa kita buat dalam sistem e-hailing dulu di mana kita menambahkan dengan sistem yang lebih baik lagi yang mana subsidi bergantung kepada penggunaan e- hailer dengan apa diadakan.
Datuk Haji Awang bin Hashim - Pendang
[Bangun]
Datuk Seri Amir Hamzah bin Azizan
Jadi, untuk beberapa golongan pengguna, golongan pengguna lain yang tidak semestinya ada kenderaan yang datang kepada stesen minyak, kerajaan juga menyediakan mekanisme bawah dua mekanisme.
Satu mekanisme bawah BUDI Diesel, di mana penggunaan MyKad digunakan. Jadi, mereka ini boleh menunaikan bila datang ke sini. Ini saya bagi contoh, ini termasuklah mereka yang mendapat penggunaan diesel nelayan, pengusaha-pengusaha bot, mereka yang ada genset yang digunakan untuk perumahan di kawasan pedalaman, kita ada agensi kerajaan negeri yang memastikan siapa yang layak untuk mendapat subsidi ini.
Dengan kelulusan itu, kita akan membuka kuota untuk mereka untuk mengambil seperti yang ada sekarang. Ya. Jadi, kita dah buat dulu masa kita buat petrol, juga ada beberapa dalam kategori ini di dalam petrol, itu pun dah berjalan lancar.
Kita juga memahami, ada juga beberapa individu terutamanya petani dan pekebun kecil. Ya. Petani dan pekebun kecil kita bagi mekanisme melalui bantuan tunai. Kita memberi bantuan tunai sebanyak RM200 sebulan dan semasa harga minyak melonjak, kita tambah secara interim kepada RM400 sebulan. Yang ini kita menggunakan agensi di bawah KPKM dan KPK untuk memastikan siapa yang layak menerima.
Dan, sehingga kini, kita ada lebih daripada 200,000 penerima, petani dan pekebun kecil yang menerima bantuan tunai setiap bulan. Ini menolong mereka membeli walaupun harga jualan diesel itu sekarang di pada harga pasaran.
Untuk kenderaan-kenderaan yang bersifat komersial, kita juga memberikan SKDS yang kita wujudkan sejak Oktober tahun 2024 dan melalui itu kita bagi fleet card. Dalam area fleet card, 33 jenis kenderaan dibenarkan mendapat membeli diesel dengan bersubsidi dan ini fokus kepada pengangkutan awam, fokus kepada pengangkatan barangan-barang yang ada implikasi yang besar kepada rakyat.
Jadi, pengangkatan barangan makanan, minuman, semua kita beri subsidi melalui fleet card. Ini dikawal selia oleh KPDN dan alhamdulillah, skim itu lancar sejak ia dimulakan. Dan untuk Sabah, Sarawak, kita akan memperluaskan skim itu juga ke Sabah, Sarawak dengan fleet card.
Permohonan untuk SKDS punya fleet card telah bermula bulan Mei tahun ini.
Dan, sehingga kini, lebih kurang 40 peratus mereka yang layak telah pun memohon untuk mendapat fleet card. Jadi, kita rasa dari segi mekanisme yang ada, dia mencukupi. Dan seperti saya jelaskan dalam jawapan saya sebelum ini, daripada data yang kita ada, kita nampak yang kuota yang kita letak mencukupi dan khas untuk pengguna jip dan pikap kerana kita nampak ada penggunaan untuk pengusahaan, ada penggunaan untuk membawa penumpang ke dalam pedalaman, kita memberikan permohonan untuk mendapat 100 liter sebulan lebih.
Jadi, insya-Allah, ini akan mencukupi semasa kita roll out BUDI Diesel. Dan janji saya ialah, selepas dia melancar dan berjalan dengan beberapa bulan, kita akan terus melihat dan mendapat pandangan, kalau ada apa penambahbaikan, kita akan melihat untuk membuat kebaikan.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato' Dr. Ramli bin Dato' Mohd Nor
Yang Berhormat Menteri, pendekkan jawapan.
Datuk Seri Amir Hamzah bin Azizan
Sekian, terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato' Dr. Ramli bin Dato' Mohd Nor
Terima kasih Yang Berhormat Menteri. Silakan Yang Berhormat Pendang.
Datuk Haji Awang bin Hashim - Pendang
Terima kasih Dato’ Yang di- Pertua, Yang Berhormat Menteri, izin saya untuk membangkitkan soalan tambahan yang ketiga ini. Kita sedia maklum Dato’ Yang di-Pertua berkenaan dengan hak kelayakan subsidi bahan api sebanyak 200 liter sebulan melalui mekanisme penggunaan MyKad.
Jadi, kita lihat, adakah satu kajian yang dibuat oleh Kementerian Kewangan berkenaan dengan yang disebut tadi data tadi yang digunakan untuk subsidi petrol ini terutamanya BUDI95 dan juga kalau ada, apakah metodologinya dan kajian digunakan oleh kerajaan dalam menentukan angka 200 liter tersebut?
Oleh kerana itu, corak penggunaan bagi seseorang pengguna amat berbeza mengikut lokasi, jenis pekerjaan dan keadaan geografi, begitu juga dengan geopolitik. Seorang pekerja di bandar besar mungkin mempunyai asas— mempunyai akses kepada pengangkutan tetapi rakyat di kawasan luar bandar, pekebun kecil, nelayan, pesawah padi serta mereka yang perlu berulang alik jauh untuk bekerja lazimnya mempunyai penggunaan bahan api yang lebih tinggi.
Datuk Haji Awang bin Hashim - Pendang
Justeru itu adakah kerajaan bersedia mempertimbangkan mekanisme yang lebih fleksibel dan bersasar berdasarkan keperluan sebenar pengguna. Bukannya menetapkan satu had yang sama kepada semua rakyat di seluruh Malaysia ini sebab segmentize of population itu berbeza.
Oleh sebab itu, kita harap satu had yang sama kepada semua rakyat serta adakah kementerian akan menjalankan semakan berkala terhadap had 200 liter ini sekiranya didapati tidak lagi mencerminkan realiti kos mobiliti rakyat kerana sasaran itu tidak tersasar.
Oleh sebab itu dalam pada itu yang terakhir, berapakah ratus penerima subsidi, berapa peratus kah penerima subsidi yang berdasarkan simulasi kerajaan dijangka melebihi had 200 liter sebulan? Dan apakah kesan kewangan tambahan yang bakal ditanggung oleh kumpulan tersebut selepas pelaksanaan dasar ini?
Mohon penjelasan kerajaan kerana subsidi ini dipindahkan, dijimatkan, dipindahkan ke tempat mana untuk rakyat. Sekian terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato' Dr. Ramli bin Dato' Mohd Nor
Silakan Yang Berhormat Menteri.
Datuk Seri Amir Hamzah Azizan
Terima kasih Pendang. Soalannya panjang dan berangkai-rangkai untuk dijawab. Tapi saya akan cuba kerana sebahagian daripada jawapan saya, saya telah terangkan dalam jawapan saya yang pertama dan juga yang kedua. Tapi saya emphasize beberapa perkara kerana root question itu datang untuk memahami pasal kuota.
Seperti yang saya terangkan tadi. Kita telah menggunakan BUDI95 sejak Oktober 2025. So dari Oktober sampai bulan Mei kita telah melihat BUDI95 telah berjalan lancar di dalam seluruh negara. Daripada data yang kita ada menunjukkan secara konsisten kurang daripada satu peratus daripada pengguna— pengguna dalam sistem BUDI ini dalam lebih kurang 14 juta pengguna menggunakan secara konsisten lebih daripada 200 liter sebulan. Ini bukan satu benda yang besar. Hanya kurang daripada satu peratus.
Kita tahu data ini telus kerana siapa nak memakai BUDI kena letak IC dekat dalam sistem. Setiap transaksi yang ada tiga juta sehari, kita masuk dalam database yang kita ada. Jadi kita boleh nampak. Kita boleh analyse dan kita boleh pastikan.
Kedua ditanya juga untuk beberapa kalangan penerima. Macam mana kita menjaga kalangan penerima yang mungkin tidak ada kenderaan. Seperti saya katakan tadi, dalam mekanisme BUDI yang asli ada di Semenanjung kita ada BUDI Agri-Komoditi sebagai mekanisme untuk menolong petani dan pekebun kerana mereka kecil. Dia bukan syarikat besar. Jadi, kita bagi dia dari segi bantuan tunai.
RM200 sebulan dan semasa harga naik melonjak kita naikkan secara interim kepada RM400 sebulan. Ini untuk menampung kenaikan harga. Yang ini kita dah kira mencukupi untuk breach the kenaikan harga kerana harga pada harga pasaran.
Bantuan untuk nelayan kita tak ubah. Bantuan nelayan yang boleh membeli subsidi diesel itu memang dah ada di bawah pengawasan KPKM. Bantuan yang kita ada untuk mereka yang menggunakan petrol dalam genset untuk beberapa itu kita ada juga ruang di mana kita telah meluluskan kuota dengan MyKad. Yang ini juga kita akan gunakan untuk diesel. Jadi, dari segi apa yang dibuat oleh kerajaan, sistem yang kita ada sekarang dah complete. Bila ada analisis menunjukkan ada gap apa- apa kita akan cuba mengurangkan kepincangan yang ada. Saya katakan tadi dah nampak masa kita buat penambahbaikan masa e-hailing. Jadi untuk saya, untuk BUDI diesel ke depan, kita pakai cara yang sama dan pendapatan yang sama.
Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato' Dr. Ramli bin Dato' Mohd Nor
Terima kasih Yang Berhormat Menteri. Yang Berhormat sekarang tamatlah sesi untuk Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri.
[Sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri tamat]
Timbalan Yang di-Pertua - Dato' Dr. Ramli bin Dato' Mohd Nor
Majlis meneruskan agenda. Dipersilakan Tuan William Leong Jee Keen, Yang Berhormat Selayang.
Tuan William Leong Jee Keen - Selayang
Terima kasih Dato' Speaker.
Soalan saya soalan nombor 1.
1. Tuan William Leong Jee Keen [Selayang] minta Menteri Luar Negeri menyatakan apakah pendirian semasa dasar luar Malaysia terhadap Kerajaan Myanmar dan sejauh manakah kemajuan dalam Konsensus Lima Perkara (5PC) diambil kira dalam perumusan dasar luar tersebut.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato' Dr. Ramli bin Dato' Mohd Nor
Dipersilakan Menteri Luar Negeri untuk menjawab.
Menteri Luar Negeri - Dato' Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hassan
Bismillahirrahmanirrahim. Terima kasih Dato' Timbalan Yang di-Pertua. Terima kasih kepada Yang Berhormat Selayang. Dato' Timbalan Yang di-Pertua, saya mohon izin Dewan untuk saya menjawab bersekali tiga soalan. Selain daripada Selayang, saya juga ingin menjawab soalan daripada Yang Berhormat Indera Mahkota yang bertarikh 7 Julai dan juga Yang Berhormat Bakri yang bertarikh 13 Julai secara bersekali kerana ia merupakan soalan yang sama. Jadi saya nak jawab bersekali.
Mohon izin.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato' Dr. Ramli bin Dato' Mohd Nor
Diluluskan.
Dato' Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hassan
Dato' Yang di-Pertua keadaan di Myanmar ada menunjukkan perubahan sedikit tetapi masih belum menunjukkan kemajuan seperti mana yang diputuskan oleh kesemua pemimpin ASEAN dalam memenuhi Kemuafakatan Lima Perkara (Five-Point Consensus) yang kekal menjadi kerangka utama dalam mencari jalan penyelesaian di Myanmar.
Pada sidang kemuncak ASEAN ke-48 yang berlangsung di Cebu, Filipina pada 8 Mei baru-baru ini Dato' Yang di-Pertua, para pemimpin ASEAN telah memutuskan agar Menteri-menteri Luar ASEAN mengadakan libat urus secara tidak rasmi dengan Myanmar. Saya telah mengadakan lawatan ke Naypyidaw pada 19 Mei 2026 dan bertemu dengan Menteri Luar Negeri yang baru iaitu U Tin Maung Swe dan bagi menilai perkembangan terkini krisis di Myanmar dan menyampaikan hasrat pemimpin-pemimpin ASEAN.
Dalam pertemuan tersebut Dato' Yang di-Pertua saya telah menyampaikan dan bertukar pandangan serta mendapatkan penjelasan lanjut mengenai lima perkara yang berikut:
(i) hala tuju kestabilan politik pasca pilihan raya di Myanmar;
(ii) kemajuan pelaksanaan Five-Point Consensus dengan izin;
(iii) cadangan untuk mengadakan dialog terangkum bersama dengan semua pihak berkepentingan di Myanmar;
(iv) mendapatkan pandangan berkenaan dengan bagaimana ASEAN boleh membantu Myanmar mencapai keamanan dan perdamaian nasional yang berkekalan; dan
(v) meninjau dan menilai situasi lapangan di Myanmar.
Dato' Yang di-Pertua saya turut membangkitkan isu-isu kritikal yang lain seperti pembebasan tahanan politik di Myanmar. Penyelesaian pelambakan pelarian terutamanya pelarian daripada Rohingnya— orang-orang Rohingya, khususnya di Malaysia serta pengukuhan kerjasama dalam menangani jenayah kewangan atas talian.
Saya juga mencadangkan kepada Myanmar penubuhan wilayah autonomi serta pendekatan federalisme yang turut boleh dipertimbangkan oleh Myanmar.
Saya bagi contoh Malaysia. Kita buat federalisme, ada lima, enam negeri yang bukan bersama dengan Kerajaan Persekutuan. Dia nampaknya amat tertarik dengan cadangan tersebut.
Dato' Yang di-Pertua, Myanmar menerima baik cadangan untuk Malaysia terus mengadakan libat urus dengan pemegang-pemegang taruh Myanmar yang lain. Kita dah buat banyak kali dah, dua tiga kali. Saya melihat pihak Myanmar pada kali ini Dato' Yang di-Pertua lebih terbuka dengan cadangan yang diutarakan jika dibangkitkan dengan interaksi kita sebelum itu, sewaktu Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN pada tahun lepas.
Dato' Yang di-Pertua, ingin saya jelaskan di sini bahawa lawatan yang dibuat bukan lah merupakan pengiktirafan. Saya nak jelaskan betul-betul. Lawatan yang dibuat bukan lah merupakan pengiktirafan terhadap kerajaan baru Myanmar selepas pilihan raya ini. Tidak sama sekali menjejaskan pendirian Malaysia dan ASEAN berhubung pelaksanaan Five-Point Consensus. Ia sebenarnya adalah usaha untuk mengekalkan saluran komunikasi dan meneruskan momentum yang dijalankan sewaktu Kepengerusian ASEAN Malaysia pada tahun lepas. Libat urus dengan Myanmar walaupun secara tidak rasmi dilihat penting bagi memastikan ASEAN tidak kehilangan peranan utama dalam membantu Myanmar selain mengekalkan ataupun mengelakkan campur tangan kuasa-kuasa luar di Myanmar.
Dato' Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hassan
Ini dah mula dah banyak kuasa luar nak campur, dia akan menyusahkan ASEAN untuk kalau kita membiarkan perkara tersebut, Dato’ Yang di-Pertua ya.
Malaysia menitikberatkan pendekatan yang terangkum dalam menangani isu Myanmar yang melibatkan semua pihak berkepentingan di Myanmar dan tidak hanya tertumpu pada pihak-pihak tertentu sahaja.
Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dan saya sendiri telah mengadakan pelbagai sesi libat urus serta pertemuan dengan pemegang-pemegang taruh di Myanmar. Ada 30 lebih pemegang taruh semuanya di Myanmar, Dato’ Yang di- Pertua, dah beberapa kali kita jumpa di Kuala Lumpur.
Malaysia menitikberatkan pendekatan terangkum ya, Dato’ Yang di-Pertua.
Dan Malaysia akan terus menggesa semua pihak yang terlibat termasuk pihak berkuasa Myanmar, National Unity Government ataupun NUG, People’s Defence Force (PDF) serta organisasi-organisasi etnik ataupun armed ethnic organization yang bersenjata dengan izin, Ethnic Armed Organization untuk menghentikan keganasan serta mewujudkan gencatan senjata dalam menyokong usaha pendamaian di Myanmar.
Usaha ini dilihat pragmatik Dato’ Yang di-Pertua, dan menyeluruh bagi menyokong peranan ASEAN untuk terus menerajui usaha memudah cara penyelesaian di Myanmar. Terima kasih, Dato’ Yang di-Pertua.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Terima kasih Yang Berhormat Menteri. Yang Berhormat Selayang, soalan tambahan.
Silakan.
Tuan William Leong Jee Keen - Selayang
Terima kasih kepada Yang Berhormat Menteri untuk jawapan yang lengkap. Soalan tambahan saya ialah dengan mengambil kira bahawa pihak Myanmar masih gagal mematuhi Konsensus Lima Perkara ASEAN (5PC). Apakah langkah-langkah yang akan diambil oleh kementerian untuk mengatasi kebuntuan ini, the… [Tidak jelas] stalemate termasuk mempertimbangkan pendekatan baharu sekiranya Myanmar enggan memenuhi tuntutan 5PC ini? Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Silakan Menteri.
Dato’ Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hasan
Terima kasih Dato’ Yang di-Pertua. Terima kasih Selayang. Dato’ Yang di-Pertua, Five-Point Consensus itu adalah merupakan kerangka teras yang telah dipersetujui oleh semua pemimpin- pemimpin ASEAN pada ketika itu termasuk pemimpin Myanmar sendiri yang menandatangani Five-Point Consensus tersebut.
Dia tak susah sangat iaitu menghentikan keganasan, libat urus dengan semua pihak, pastikan supaya bantuan kemanusiaan sampai, membuat pilihan raya dan macam-macam lagi lah dan adanya special envoy perlu diadakan, itu Five-Point Consensus. Tak susah sangat untuk dipenuhi dan dilaksanakan, Dato’ Yang di- Pertua.
Itu sebab saya katakan tadi nampak ada perubahan ya. Kita minta semasa Yang Amat Berhormat Perdana Menteri berjumpa dengan Ketua Junta pada tahun lepas di Beijing dan juga di Thailand, SG Ma, Senior General Ma minta supaya diadakan gencatan senjata dia buat gencatan senjata selama enam bulan, berakhir hujung bulan Julai ini.
Datuk Haji Ahmad Amzad bin Mohamed @ Hashim - Kuala Terengganu
[Bangun]
Dato’ Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hasan
Salah satu perkara yang saya sebut semasa pertemuan dengan Menteri Luar baru-baru ini ialah supaya menyambung gencatan senjata yang akan berakhir pada hujung bulan Julai ini untuk kita buat fasa kedua. Saya minta supaya dia memberikan dia punya bagaimana to move forward. Fasa satu, fasa dua, fasa tiga kerana kita tak boleh terus menekan Myanmar. Kita tak boleh katakan bahawa kita tak iktiraf. Betullah tetapi pada dia, dia peduli apa? Dia kata dia buat, dia buatlah.
Jadi apa peranan kita? Kita tidak mahu Myanmar ini terus terpinggir dan kita tidak mahu ada pihak ketiga nanti. Kita tidak mahu meninggalkan ada satunya vakum di mana vakum ini nanti Dato’ Yang di-Pertua, akan diisi oleh pihak ketiga. Ini akan merumitkan ASEAN dan lebih merumitkan lagi di keadaan Myanmar kerana ada kepentingan di utara Myanmar, ada kepentingan di timur Myanmar, ada kepentingan di selatan Myanmar, negara-negara jiran yang turut sama mengambil bahagian merumitkan lagi keadaan di Myanmar, Dato’ Yang di-Pertua.
Jadi, Five-Point Consensus itu tetap akan ada tetapi kita sekarang ini pemimpin ASEAN mahu supaya Menteri-menteri Luar ASEAN memikirkan cara bagaimana untuk kita bersama-sama dengan Myanmar untuk mengurus Five-Point Consensus. Jika perlu kita ubah suai, kita ubah suai sedikit, tapi semuanya mesti diluluskan oleh Ketua-ketua Negara ASEAN sebelum kita berbuat apa-apa perubahan. Terima kasih Yang di-Pertua.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Silakan Yang Berhormat.
Dato’ Sri Saifuddin bin Abdullah - Indera Mahkota
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Saya kira satu dunia memuji Kepengerusian ASEAN dan Malaysia semasa menjadi Pengerusi ASEAN kerana ini Pengerusi ASEAN yang paling tegas dalam mendukung perjuangan demokrasi rakyat Myanmar.
Cuma Tuan Yang di-Pertua, sebelum menjawab persoalan tambahan ini saya harap Yang Berhormat Menteri boleh membetulkan soalan Yang Berhormat Selayang kerana ada perkataan Kerajaan Myanmar dalam soalan itu. Saya nak dengar pembetulan daripada Yang Berhormat Menteri macam Yang Berhormat membetulkan sahabat kami ketika menyebut tentang Kerajaan Israel dahulu.
Soalan saya dari segi Five-Point Consensus, pentadbiran yang lalu Kerajaan Malaysia sudah mula menyoalnya dan sudah mula secara tidak rasmi membentangkan dengan izin, a framework with a clear endgame kepada Myanmar.
Dan itu saya lihat ada dalam jawapan Yang Berhormat tadi yang lima perkara yang Malaysia nak bawa itu terutamanya perkara satu, dua dan empat ya.
Sebab pada hari ini rata-rata orang menganggap Five-Point Consensus telah gagal. Jadi kalau perlu diubahsuai, saya harap lihat balik kepada framework itu yang sebahagiannya Yang Berhormat telah sebut.
Yang kedua ialah Yang Berhormat harus menjelaskan lagi terutamanya kepada badan-badan civil society seluruh dunia mengapa Yang Berhormat pergi ke Naypyidaw? Saya faham jawapan Yang Berhormat dalam Dewan ini tetapi di luar Dewan ini, the good name of Malaysia has to be cleared. You have to clear the air kerana lawatan ke Naypyidaw bertemu dengan Menteri yang dilantik selepas a sham election itu dianggap Malaysia menormalisasi. Belum iktiraf tetapi seperti menormalisasi.
Jadi, harapan saya ialah please clear the air. Nama Malaysia begitu baik dan teruskan kerja-kerja baik itu. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Silakan Yang Berhormat Menteri.
Dato’ Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hasan
Terima kasih Dato’ Yang di-Pertua. Terima kasih sahabat saya. Saya dah sebut tadi bahawa kita tidak mengiktiraf. So, perkataan tidak mengiktiraf saya dah sebut. Jadi, memang bila kita tidak mengiktiraf perkataan negara itu adalah tidak terpakailah bagi Malaysia.
Keduanya, berkenaan dengan pendirian Ketua-ketua Negara ASEAN Dato’ Yang di-Pertua, semasa mesyuarat ke-48 di Cebu baru-baru ini, Mesyuarat Sidang Kemuncak 48. Kita ataupun ASEAN melihat bahawa sudah ada orang menganggap— seluruh dunia menganggap Five-Point Consensus ini tak bergerak, dah stalemate. Jadi, itu sebabnya diminta supaya Menteri-menteri Luar meneliti dan menelaah semula dan bagaimana cara untuk kita move forward. Itu yang disebut oleh Paya Besar tadi.
Jadi saya pergi ke Naypyidaw Dato’ Yang di-Pertua, bukannya bertemu dengan Menteri Luar Negeri Myanmar di pejabat beliau.
Tuan Mohd Sany bin Hamzan - Hulu Langat
[Bangun]
Dato’ Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hasan
Itu sebabnya mesti dilihat bahawa saya tak bertemu dia di pejabat beliau walaupun disiapkan persiapan untuk menerima saya, saya tak menerima. Tak bertemu beliau di pejabat, bertemu di luar tetapi saya bertemu cuma di hotel dan terus minum teh dengan dia dan berbincang.
Dan saya pun memberitahu perkara-perkara yang Malaysia dan juga ASEAN mahu melihat supaya keadaan di Myanmar ini berubah.
Saya bagi tahu kepada beliau bahawa kami nak membantu tetapi Myanmar mesti harus sedar bahawa dia pun perlu melakukan satu tanggungjawab dia. Selalu dia cakap dalam mesyuarat-mesyuarat ASEAN bahawa they have the right to be an ASEAN’s members. Tetapi dia lupa satu perkara bahawa obligation sebagai anggota ASEAN itu perlu juga ditunaikan. Jangan cakap your right but you have to also consider your obligation as a member of ASEAN community.
Dato’ Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hasan
Itu yang saya bagi tahu dan saya bagi lima perkara tadi yang saya katakan, inilah kehendak ASEAN. Apa yang susah nak buat lima perkara? Sebab sebenarnya dah banyak pun telah pun dilaksanakan, cumanya gencatan senjata secara menyeluruh, pilihan raya secara menyeluruh dan keterangkuman dialog antara semua pihak yang bertelagah. Itu kita dah buat di Malaysia dan kita cuma nak buat lagi sekali, sama ada mereka bersedia untuk bertemu ataupun tidak.
Jadi, ini satu perkara yang kita buat Dato' Yang di-Pertua, supaya apa yang saya katakan tadi kita tidak mahu Myanmar ini ditinggalkan begitu sahaja. Kita mesti meneruskan hubungan dialog dengan Myanmar. Kita mesti pastikan kita punya komunikasi kita dengan Myanmar sentiasa ada kerana kita tidak mahu— ini yang dirunsingkan oleh kebanyakan ketua-ketua negara di ASEAN, jika Myanmar ini ditinggalkan terus ataupun dipinggirkan terus, maka akan ada satu vakum dan vakum ini akan diisi oleh pihak yang mempunyai kepentingan-kepentingan yang akan memudaratkan ASEAN secara keseluruhannya.
Jadi, itu yang kita lakukan dan insya-Allah Dato' Yang di-Pertua, pada awal ataupun pertengahan bulan Julai akan ada pertemuan-pertemuan lagi dengan pemegang-pemegang taruh di Myanmar. Dan kalau tadi sahabat daripada Paya Besar mengatakan Malaysia perlu menerangkan, saya harap supaya penerangan di Parlimen saya ini memadai supaya ia dapat didengar oleh pihak-pihak NGO di luar kerana saya tak mampu lah untuk membuat engagement dengan semua NGO di luar sana.
Tidak timbul soal Malaysia mengiktiraf Kerajaan Myanmar selepas pilihan raya ini sehinggalah— itu pendirian ASEAN, sehinggalah apa yang dilakukan oleh mereka itu secara terangkum. Pilihan raya secara terangkum, keamanan secara kekal, semua pihak dan juga pelepasan tahanan-tahanan politik dan pelarian serta macam-macam lagi yang saya sebut lima perkara tadi Dato' Yang di-Pertua. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Terima kasih Yang Berhormat.
Tuan Mohd Sany bin Hamzan - Hulu Langat
Speaker, boleh tambahan?
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Yang Berhormat, saya tak benarkan. Kalau Yang Berhormat...
Tuan Mohd Sany bin Hamzan - Hulu Langat
Isu Rohingya sebab baru- baru ini di Hulu Langat kecoh isu-isu berkaitan dengan Rohingya ini Speaker.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Yang Berhormat, saya tengah bercakap.
Tuan Tan Hong Pin - Bakri
Yang di-Pertua, ini soalan saya untuk dijawab bersekali.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Yang Berhormat, Peraturan 42 menyatakan bila saya bercakap, Yang Berhormat diam, dengar ya. Yang Berhormat, jika Yang Berhormat berdua ada apa-apa perkara hendak dibangkitkan, saya nyatakan usulkan di bawah Peraturan 17 kerana dalam perjalanan pagi ini, saya nak mengikut apa dia norma-norma yang telah dilaksanakan. Silakan duduk.
Tuan Mohd Sany bin Hamzan - Hulu Langat
Kena duduk Yang Berhormat ya?
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Baik, Majlis ke soalan yang kedua. Dipersilakan Tuan Roslan bin Hashim, Yang Berhormat Kulim-Bandar Baharu.
Tuan Roslan bin Hashim - Kulim-Bandar Baharu
Baik, terima kasih Yang di-Pertua. Soalan saya nombor 2.
2. Tuan Roslan bin Hashim [Kulim-Bandar Baharu] minta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan menyatakan berapakah keluasan tanaman bawang tempatan yang aktif pada masa ini mengikut negeri dan apakah insentif yang disediakan untuk menggalakkan penanaman bawang secara komersial.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Silakan Yang Berhormat Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan - Datuk Seri Haji Mohamad bin Sabu
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Dalam usaha kerajaan untuk meningkatkan kadar sara diri bawang demi menjamin bekalan makanan negara, Kementerian Pertanian telah menetapkan SSR pembangunan industri bawang merah kecil sebanyak 30 peratus menjelang 2030.
Pelaksanaan program ini memberi tumpuan kepada pembangunan kawasan pengeluaran yang berpotensi, penggunaan variasi yang sesuai dengan persekitaran tempatan serta penerapan teknologi dan amalan pertanian moden bagi meningkatkan produktiviti dan kualiti hasil.
Sepanjang 2024 hingga 2025, pelaksanaan program pembangunan bawang merah kecil telah menunjukkan perkembangan yang positif iaitu sejumlah 155.29 hektar kawasan penanaman berjaya dibangunkan di lokasi terpilih. Daripada keluasan tersebut, 135.29 tan metrik bawang merah telah berjaya dihasilkan.
Pada tahun 2025, negeri yang sedang aktif dalam pembangunan industri bawang adalah Selangor 40 hektar, Kelantan 30.85 hektar, Perak 28 hektar, Terengganu satu hektar dan Perlis satu hektar. Pembangunan industri bawang merah kecil akan diteruskan pada tahun 2026 dengan melibatkan tambahan kawasan penanaman seluas 61.18 hektar.
Jabatan Pertanian telah menyediakan insentif melalui Program Pembangunan Industri Bawang di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas 2026– 2030 sebagai usaha menggalakkan komersial bawang merah kecil ini. Insentif yang diberikan di bawah program ini adalah sebanyak RM50,000 bagi setiap hektar dengan maksimum bantuan dua hektar untuk setiap petani yang melibatkan skop projek seperti berikut:
(i) pembangunan dan mengukuhkan infrastruktur ladang dan aktiviti pengeluaran;
(ii) bahan dan input pertanian bagi aktiviti ladang;
(iii) mesin atau jentera dan peralatan untuk ladang; dan
(iv) pengeluaran benih bawang merah berkualiti oleh MARDI.
Dalam usaha mencapai sasaran yang ditetapkan, KPKM giat membangunkan kawasan secara berfasa dan terancang dengan kerjasama sektor swasta dan komuniti petani. Terima kasih Yang di-Pertua.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Terima kasih Yang Berhormat Menteri. Yang Berhormat Kulim-Bandar Baharu, soalan tambahan.
Tuan Roslan bin Hashim - Kulim-Bandar Baharu
Baik, terima kasih Dato' Yang di-Pertua. Saya juga mengucapkan terima kasih kepada YB Menteri kerana berani membawa industri bawang ke Malaysia. Sebenarnya saya pernah melawat ladang bawang ini di Sungkai, tapi masa lawatan saya itu saya tengok bawang merah saja atau bawang kecil tapi tak nampak lah bawang besar ataupun bawang putih.
Adakah Kementerian Pertanian bercadang untuk meluaskan juga dua jenis bawang ini? Dan juga seterusnya, apakah faktor utama yang menghalang perkembangan industri penanaman bawang tempatan di Malaysia terutamanya dari aspek kos pengeluaran, teknologi dan bekalan import pertanian? Terima kasih Yang di-Pertua.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Silakan Yang Berhormat Menteri untuk menjawab.
Datuk Seri Haji Mohamad bin Sabu
Percubaan tanaman bawang besar ini, bawang putih sekarang ini memang kajian yang lebih lama dan mendalam kerana ia mesti kawasan yang lebih kering dengan perubahan cuaca yang berlaku. Dan sekarang ini kawasan-kawasan yang lebih kering itu kemungkinan lebih sesuai untuk tanaman bawang putih pada masa akan datang, tetapi ia nya bergantung kepada penyelidikan yang dibuat oleh DOA dan MARDI. Kita tak boleh terpa tanam begitu sahaja, nanti dia boleh merugikan para petani.
Memang kos untuk mengeluarkan bawang ini agak tinggi. Boleh dikatakan dalam jualan pasaran dia sekarang lebih kurang— nak keluarkan satu kilo bawang itu, kos dalam purata RM4.50. Tapi kalau boleh jual harga lebih daripada itu, maka mereka akan membuat keuntungan.
Oleh kerana dia satu usaha yang baru, maka pelbagai percubaan, penyelidikan dan sebagainya dilakukan bersama dengan perkembangan ini.
Kadang-kadang ada peringkat trial and error, tapi lebih kurang sekarang ini dia akan sampai ke peringkat kita dapat teknologi-teknologi yang tertentu untuk bawang ini.
Usaha ini begitu giat dijalankan oleh MARDI dan DOA.
Dan setakat ini, penanaman bawang ini dia ada— misalnya kesesuaian tanah di antara tanah yang dilihat, tanah yang bercampur lebih kurang 30 persen pasir.
Tanah seperti ini banyak berada di Pantai Timur dan juga beberapa tempat yang lain.
Kita akan lihat kalau ada kesesuaian, ada permintaan untuk membuat tanaman bawang ini, pihak DOA di bahagian pertanian dan juga MARDI akan datang membantu. Itulah usaha-usaha kita setakat ini.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Soalan selanjutnya, Yang Berhormat Tebrau. Yang Berhormat Tampin, you punya mic tu rasanya hijau, hijau, hijau keluar. Pihak teknikal tengokkan.
Dato’ Mohd Isam bin Mohd Isa - Tampin
Saya bangun dulu tadi, tapi saya off dulu untuk bagi laluan kepada Menteri jawab. Itu sebab dia hijau, sepatut Tampin dapat itu.
Tuan Jimmy Puah Wee Tse - Tebrau
[Ketawa] Lain kali lah, lain kali lah.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Yang Berhormat Tebrau, silakan.
Tuan Jimmy Puah Wee Tse - Tebrau
Ya, terima kasih...
Tuan Haji Mohd Syahir bin Che Sulaiman - Bachok
Merah dengan hijau hari ini.
Tuan Jimmy Puah Wee Tse - Tebrau
Yang Berhormat Menteri, saya mendapat banyak aduan dan luahan sebenarnya daripada penanam pertanian dan juga dalam pemain industri yang menyatakan ada kekurangan buruh dalam industri pertanian ini. Dan dalam usaha mereka untuk cuba memastikan pengeluaran kita mantap dan keterjaminan makanan Malaysia ini tetap terjamin, mereka cubalah dapat apply, mohon untuk pekerja asing untuk masuk ke Malaysia untuk kerja pertanian.
Tuan Jimmy Puah Wee Tse - Tebrau
Tapi mereka sekarang menghadapi pelbagai masalah dalam permohonan itu dan maka soalan yang rumit dan tercabar. Maka soalan saya kepada Menteri, apakah usaha Yang Berhormat Menteri boleh buat untuk menyelaraskan isu ini dan bantu mereka dengan kementerian berkenaan dalam menyelesaikan masalah ini dan apakah solusi kita Malaysia ini untuk jangka masa pendek dan panjang untuk kita menyelesaikan masalah kekurangan pekerja tenaga di sektor ini? Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Silakan, Yang Berhormat Menteri.
Datuk Seri Haji Mohamad bin Sabu
Terima kasih, Yang Berhormat Tebrau.
Memang kementerian saya tidak boleh meluluskan pekerja asing. Setiap permohonan yang datang daripada kementerian— mereka yang mengusahakan pertanian saya akan ajukan kepada Kementerian Dalam Negeri dan juga SUKMA dan kita sentiasa bekerjasama untuk melihat.
Memang kita akui dalam bidang pertanian ini banyak diperlukan pekerja- pekerja mahir terutama sekali. Dan kita berhubung sentiasa dengan pihak Kementerian Dalam Negeri. Apa sahaja kalau Tebrau nak minta permohonan dan sebagainya, saya akan ajukan itu kepada dua kementerian ini iaitu SUKMA dan juga Kementerian Dalam Negeri. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Terima kasih, Yang Berhormat Menteri. Majlis ke soalan yang ketiga. Dipersilakan Dato’ Seri Amirudin bin Shari, Yang Berhormat Gombak.
Dato’ Seri Amirudin bin Shari - Gombak
Terima kasih, Tuan Yang di- Pertua. Soalan berikutnya soalan yang ketiga.
3. Dato' Seri Amirudin bin Shari [Gombak] minta Menteri Digital menyatakan usaha kerajaan untuk merangkum usaha di negeri-negeri seperti Selangor Dark Fiber Network supaya Malaysia dapat menjamin kedaulatan data bagi keselamatan dan kepentingan nasional. Apakah perkiraan elemen kedaulatan data dalam mencapai hasrat Malaysia sebagai negara AI-ready menjelang tahun 2030.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Dipersilakan Menteri Digital untuk menjawab. Silakan, Yang Berhormat Menteri.
Menteri Digital - Tuan Gobind Singh Deo
Terima kasih Tuan Yang di- Pertua. Terima kasih kepada Yang Berhormat daripada Gombak yang melontarkan soalan nombor 3.
Tuan Yang di-Pertua, sepertimana sedia maklum Kerajaan Malaysia mengiktiraf usaha-usaha negeri yang telah melaksanakan inisiatif masing-masing seperti Selangor Dark Fiber Network dalam perkara pembangunan digital termasuk memperluaskan rangkaian fiber, pusat data, bandar pintar dan juga usaha-usaha yang berlainan.
Bagi menjaminkan kedaulatan data bagi keselamatan dan kepentingan nasional, usaha-usaha ini perlu disepadukan secara bersama di antara negeri-negeri dan Persekutuan di dalam satu ekosistem digital yang selamat, saling berhubungan dan berdaya tahan. Kerajaan Malaysia telah pun menetapkan kepentingan keselamatan ICT atau siber atau digital sebagai teras yang paling utama dalam pembangunan negara sejak negara meletakkan komitmen untuk menggunakan maklumat dan komunikasi (ICT) sebagai agenda pemodenan negara.
Atas komitmen tersebut, negara telah pun meletakkan tumpuan yang besar dengan menubuhkan Malaysia Computer Emergency Response Team (MyCERT) kemudiannya dikembangkan sebagai salah satu daripada entiti di bawah CyberSecurity Malaysia ataupun dikenali sebagai CSM. CSM yang ditubuhkan pada tahun 2007 telah lama Tuan Yang di-Pertua, menerajui pembangunan kapasiti respons insiden dan kesedaran keselamatan siber turut menjadi asas penting dalam membina sistem digital yang diyakini rakyat dan juga pelabur. Kerajaan juga selanjutnya melihat kepentingan untuk menubuhkan agensi pusat yang memberikan fokus kepada inisiatif berhubung keselamatan siber negara apabila domain siber menjadi salah satu domain keselamatan.
Penubuhan Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) pada tahun 2017.
Seiring dengan perkembangan teknologi seperti AI dan pengkomputeran kuantum, kerajaan terus memperkukuhkan ekosistem keselamatan siber negara melalui pelaksanaan Akta Keselamatan Siber dalam tahun 2024 ataupun Akta 854.
Kemudian dengan pindaan kepada Akta Perlindungan Data Peribadi tahun 2010 ataupun Akta 709.
Penggubalan Rang Undang-undang Jenayah Siber yang telah pun dibentangkan dan juga penubuhan Suruhanjaya Data bagi memastikan data diurus, dilindungi dan juga dimanfaatkan secara selamat dan beretika. Ini juga termasuk apa yang kita lihat sebagai di dalam pembentangan dan kelulusan Akta Perkongsian Data tahun lalu.
Di samping itu usaha membudayakan kebersihan siber ataupun dalam bahasa Inggeris, cyber hygiene memperkukuhkan mekanisme respons ataupun pelaporan insiden keselamatan siber serta kerjasama erat dengan rakan serantau dan antarabangsa melalui perkongsian maklumat ancaman, membolehkan negara kita bertindak lebih awal terhadap risiko keselamatan siber dan juga membuat persediaan sebelum insiden-insiden tersebut berlaku dengan adanya data tersebut.
Seiring dengan kemajuan teknologi seperti AI dan pengkomputeran kuantum, Tuan Yang di-Pertua, kerajaan terus memperkukuhkan rangka kerja perundangan dan tadbir urus negara melalui perlaksanaan Akta Keselamatan Siber 2024, pemerkasaan Akta Perlindungan Data Peribadi menerusi pindaan seperti mana saya sebut tadi.
Di peringkat serantau, Malaysia turut memainkan peranan yang aktif dalam memperkukuhkan keselamatan siber ASEAN melalui penyertaan dalam ASEAN Regional Cert bagi mempercepat perkongsian maklumat, ancaman dan penjelasan respons insiden. ASEAN Committee on Information Communication and Technology Security Excellence dalam bidang pertahanan dan keselamatan siber, ASEAN Cybersecurity Coordination Committee bagi penyelarasan dasar serta ASEAN Cyber Crimes Operation Desk.
Ini semua untuk memperkukuhkan kerjasama penguatkuasaan jenayah siber di rantau. Malaysia juga telah mengetuai penggubalan ASEAN Cybersecurity Cooperation Strategy 2026 sehingga 2030 yang menjadi salah satu daripada hasil yang disumbangkan sewaktu Kepengerusian ASEAN pada tahun lalu.
Dalam konteks perlindungan data, usaha ini turut disokong oleh JPDP ataupun Jabatan Perlindungan Data Peribadi yang memainkan peranan yang penting dalam memastikan pematuhan kepada undang-undang perlindungan data serta memperkukuhkan kepercayaan dalam ekosistem digital.
Tuan Yang di-Pertua, penglibatan aktif NACSA, CyberSecurity Malaysia dan JPDP serta juga Majlis Keselamatan Negara dalam inisiatif-inisiatif ini memastikan bahawa Malaysia sentiasa berada dan bersedia dalam keadaan untuk menghadapi ancaman rentas sempadan dan mampu bertindak secara proaktif sebelum sesuatu ancaman memberi kesan kepada negara.
Data Centre Task Force (DCTF) Tuan Yang di-Pertua, juga memastikan pembangunan pusat data yang menjadi asas kepada AI dilaksanakan secara terancang, secara selamat dan mampan. Melalui penyelarasan antara Kerajaan Persekutuan, kerajaan-kerajaan negeri dan agensi-agensi yang berkaitan, DCTF menyelaras dasar, pelaburan dan infrastruktur kritikal bagi memastikan kapasiti pusat data negara berkembang secara bertanggungjawab, menyokong penggunaan AI dan yang penting sekali ialah selamat, memperkukuhkan daya tahan infrastruktur digital serta memelihara keselamatan dan kedaulatan data negara.
Langkah-langkah ini bertujuan Tuan Yang di-Pertua, untuk membina ekosistem digital yang selamat, dipercayai dan berdaya tahan sekali gus menyokong pembangunan serta penggunaan AI selamat atau AI safe dan bertanggungjawab menghala ke arah AI Nation 2030.
Sehubungan dengan itu, kerajaan terus melaksanakan pendekatan whole of government dan juga whole of nation dengan menumpukan usaha untuk merangkai dan menyepadukan usaha-usaha negeri ke dalam ekosistem pembangunan digital di peringkat persekutuan dan ini melalui kerangka dasar dan tadbir urus Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat Negara ataupun MED4IRN.
MED4IRN Tuan Yang di-Pertua, mempunyai platform khusus iaitu MED4IRN Negeri yang berfungsi untuk menyelaras, merangkai dan menyepadukan usaha- usaha kerajaan negeri dengan usaha Kerajaan Persekutuan berpandukan kepada Pelan Tindakan Malaysia Digital 2030.
Menuju Negara AI yang mempunyai platform khusus berhubung kepercayaan dan keselamatan, yang mana aspek kedaulatan data diberikan keselamatan dan kepentingan nasional merupakan salah satu daripada aspek yang akan ditumpukan dan ini bertujuan untuk mengimbangi inovasi secara tadbir urus dan bertanggungjawab.
Tuan Yang di-Pertua, setakat ini empat mesyuarat telah pun diadakan di antara Kerajaan Pusat dan negeri bagi melaksanakan inisiatif-inisiatif tersebut dan ia nya diadakan di Pulau Pinang, Johor, Sabah dan Sarawak. Selepas daripada ini kita datang ke Selangor pula.
Adalah penting untuk saya juga menggariskan atau tegaskan di sini bahawa perkiraan elemen kepada kedaulatan data untuk mencapai hasrat Negara AI perlu dilihat daripada aspek keupayaan negara untuk mengakses ataupun mencapai, mengurus dan memanfaatkan data secara strategik dengan tahap ketahanan digital yang tinggi bagi mewujudkan nilai ekonomi, meningkatkan produktiviti dan memperkukuhkan daya asing.
Ini bermaksud bahawa Malaysia mempunyai keupayaan yang mencukupi untuk meletakkan perlindungan yang betul dan tepat secara membuat keputusan sendiri bagaimana AI dibangunkan dan bagaimana manfaatnya diagihkan kepada rakyat.
Akhirnya Tuan Yang di-Pertua, sehubungan dengan itu untuk merujuk kepada dasar, strategi perundangan, pelan tindakan dan program yang dilaksanakan oleh kerajaan seperti Rancangan Malaysia Ketiga Belas, Pelan Tindakan Malaysia Digital 2030: Menuju Arah AI dan Dasar Pengkomputeran Awan (NCCP), Malaysia Cyber Security Strategy 2025 – 2030, Akta Perkongsian Data 2025, Akta Keselamatan Siber dan lain-lain terdapat lima elemen yang dapat dikelompokkan seperti berikut.
Menteri Digital - Tuan Gobind Singh Deo
(i) kita fokus kepada tadbir urus serta perkongsian data yang sahih dan dipercayai;
(ii) kita lihat kepada kawalan ke atas data strategik negara;
(iii) kita fokus kepada infrastruktur digital dan pengkomputeran yang dipercayai;
(iv) aspek kepercayaan, keselamatan dan ketahanan digital sepanjang kitar hayat penggunaan teknologi, pembangunan sistem dan kitar hayat data berasaskan prinsip security by design, dan akhirnya kelima; dan
(v) aspek keupayaan membangunkan keupayaan AI melalui data, bakat dan inovasi domestik.
Sekian, terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
[Timbalan Yang di-Pertua (Puan Alice Lau Kiong Yieng) mempengerusikan
Mesyuarat] Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Gombak.
Dato’ Seri Amirudin bin Shari - Gombak
Terima kasih Timbalan Speaker dan Timbalan Speaker yang baru habiskan tugas.
Terima kasih Menteri, yang telah menjelaskan dengan rinci rangka dasar, perundangan dan juga agensi yang dibentuk dalam menjamin apa yang dijamin sebagai kedaulatan data. Saya bangkitkan tentang hal kedaulatan data ini, Yang Berhormat, kerana mengambil kira sewaktu perang dingin, pertarungan di antara kelompok Amerika dan juga Soviet.
Pada ketika itu dipanggil sebagai persaingan ataupun race space yang merujuk kepada ruang angkasa. Tapi pada hari ini, race-nya adalah kepada AI dan Malaysia begitu aktif, khususnya selepas Kementerian Digital diwujudkan, mengejar dan juga mencari investment dan juga pembangunan AI tersebut.
Justeru soalan saya pertama, sejauh mana parameter yang telah digariskan sesuai dengan pengalaman kita melihat persaingan geopolitik mutakhir ini.
Bagaimana unsur-unsur strategik seperti keselamatan, kesihatan dapat dijamin dengan penggunaan AI-AI yang masih lagi bergantung dengan syarikat-syarikat antarabangsa yang bertapak dengan negara-negara luar? Adakah kita bergantung kepada satu benua sahaja ataupun kita melebarkan dengan pelbagai buah negara, seperti China dan negara-negara lain? Itu soalan pertama.
Kedua, garis-garis dan parameter yang telah ditetapkan oleh Yang Berhormat tersebut, sewajarnya juga diwujudkan satu majlis pada pandangan saya untuk diberikan ruang kepada negeri-negeri yang membangunkan. Saya percaya Johor ataupun Sarawak dan negeri-negeri lain, saya percaya sedang membangunkan dengan rancak keterlibatan kehadiran AI dalam pentadbiran, pengurusan dan kehidupan rakyat.
Justeru, saya nak cadangkan, apa pandangan Yang Berhormat, tentang kewujudan satu majlis di peringkat kebangsaan yang ada keterlibatan negeri-negeri, supaya negeri ada tahu parameter ini dan tidak bergantung dengan mana-mana sources dan sumber sahaja. Yang mana, sources itu akan membuka pintu kepada kedaulatan ataupun keterancaman terhadap kedaulatan negara ataupun kedaulatan dan keterjaminan data maklumat di dalam negara dan negeri kita, khususnya yang berkaitan unsur-unsur strategik seperti keselamatan dan juga kesihatan. Terima kasih, Tuan Yang di-Pertua.
Tuan Gobind Singh Deo
Terima kasih Yang Berhormat daripada Gombak.
Yang Berhormat, saya setuju dengan apa yang disarankan oleh Yang Berhormat.
Tuan Shaharizukirnain bin Abd Kadir - Setiu
[Bangun]
Tuan Gobind Singh Deo
Kalau kita lihat kepada visi Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, khususnya visi menjelang negara AI 2030. Penumpuan diberikan kepada bagaimana kita dapat menubuhkan satu negara yang berlandaskan AI dan juga teknologi baharu bergerak ke depan tetapi dalam masa sama di mana keselamatan dia terjamin. Jadi, dalam keadaan tersebut, memang sudah tentu bahawa kita kena lihat kepada beberapa aspek, bukan sahaja geopolitikal tetapi juga mengambil kira keperluan di dalam negara kita di antara Kerajaan Persekutuan dan juga kerajaan negeri.
Jadi, dari sudut itu, apabila kita berbincang berkenaan dengan pelaburan khususnya, dengan pembinaan data centre, Cloud dan sebagainya, kita telah pun mewujudkan data centre task force (DCTF) yang terdiri daripada semua pihak yang berkaitan, yang melihat kepada aspek-aspek spesifik, bagaimana kita boleh pastikan bahawa data centre yang kita wujudkan di Malaysia ini mempunyai akses kepada keperluan untuk memastikan bahawa ia nya sustainable bergerak ke depan.
Dan dalam masa yang sama, kita juga melihat kepada aspek-aspek keselamatan, aspek-aspek piawaian dan sebagainya yang perlu diikuti kerana banyak daripada data centre ini, memang dibinakan di dalam negeri-negeri tertentu termasuk Johor dan juga Selangor, dan sekarang kita bergerak ke Negeri Sembilan juga.
Jadi, dalam aspek itu, saya setuju bahawa kita kena lihat, bagaimana kita ada satu penyelarasan. Dan majlis yang kini melihat kepada aspek itu, adalah MED4IRN persekutuan dan juga MED4IRN negeri. Apa yang berlaku Yang Amat Berhormat, adalah kita melihat kepada perbincangan pada peringkat nasional, di mana strategi- strategi nasional dirangka.
Kemudian daripada situ, kita bergerak ke semua negeri, dan kita ada mesyuarat dengan setiap wakil daripada negeri dan exco-exco terutama dan juga termasuk daripada Selangor hadir, di mana perbincangan kepada aspek-aspek khusus dibangkitkan dan daripada situ kita bawa laporan kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri di peringkat Persekutuan. Kerana MED4IRN persekutuan itu, dipengerusikan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri sendiri.
Tapi saya maklum, saya telah pun diberitahu oleh beberapa negeri, sekiranya boleh, kita adakan satu mesyuarat, di mana wakil-wakil negeri juga hadir di peringkat nasional untuk membawa pandangan masing-masing kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dan dalam perkara itu, ini sedang diproses dan saya harap bahawa MED4IRN negeri yang akan datang itu, kita dapat melihat satu mesyuarat bersama- sama dengan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, supaya semua pandangan yang dikemukakan itu dapat diputuskan di situ dan juga tindakan diambil seterusnya.
So, memang satu perkara yang saya setuju dan kita akan uruskan. Terima kasih Yang Amat Berhormat.
Tuan Shaharizukirnain bin Abd Kadir - Setiu
Boleh Setiu?
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Setiu.
Tuan Shaharizukirnain bin Abd Kadir - Setiu
Terima kasih Yang di- Pertua. Soalan tambahan saya, adakah terdapat kolaborasi antara Kementerian Digital dan Kementerian Kewangan bagi mewujudkan satu insentif khas seperti pelepasan cukai korporat kepada syarikat teknologi tempatan yang membangunkan pusat data berdaulat ini? Sekian, terima kasih.
Tuan Gobind Singh Deo
Maaf Yang Berhormat, soalan dia, ada kolaborasi?
Itu soalan dia? Saya tak dengar. Sorry Yang Berhormat, boleh ulang ke?
Tuan Shaharizukirnain bin Abd Kadir - Setiu
Soalan saya, adakah terdapat kolaborasi ataupun kerjasama antara Kementerian Digital dan Kementerian Kewangan untuk mewujudkan satu insentif khas seperti pelepasan cukai korporat kepada syarikat teknologi tempatan yang membangunkan pusat data daulat ini?
Sekian, terima kasih.
Tuan Gobind Singh Deo
Baik, terima kasih Yang Berhormat. Seperti mana saya sebut tadi, Yang Berhormat, minta maaf saya tak dengar tadi. Kita ada apa yang disebut sebagai DCTF. Dia ini data centre task force yang dipengerusikan oleh Yang Berhormat Menteri MITI dan juga saya daripada Kementerian Digital. Di dalam jawatankuasa itu atau task force itu, memang wakil-wakil daripada kementerian juga hadir dan kita lihat kepada aspek-aspek khusus yang melibatkan data centre termasuk keperluan tenaga, keperluan air, setiap negeri memastikan bahawa apabila permohonan dibuat, proses-proses meluluskan permohonan supaya boleh dibina data centre itu dengan lekas dan cepat. Itu dilaksanakan dengan teratur.
Di dalam perbincangan ini juga, kita lihat kepada aspek-aspek memastikan bahawa data centre yang akan dibina di Malaysia itu adalah selari dengan teknologi yang paling baharu dan juga insentif-insentif yang diperlukan untuk kita menarik pelaburan yang ditetapkan untuk memastikan tujuan tersebut. Jadi, dalam menjawab soalan, ya, kita ada perbincangan, jawatankuasa yang melihat kepada aspek-aspek itu dan memang apabila kita bincangkan perkara tersebut, kita juga melihat kepada kepentingan industri-industri tempatan.
Jadi, sangat penting kita hendak pastikan bahawa apabila kita membinakan ekosistem yang diperlukan untuk negara berjaya dalam AI dalam masa depan, ia nya perlu melihat kepada keperluan industri-industri tempatan dan kita mahu memastikan bahawa kita juga membina kekuatan tempatan kita supaya kita dapat menjadi satu negara yang juga menghasilkan teknologi baru bergerak ke masa depan. Terima kasih atas soalan tersebut, Yang Berhormat.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Saya jemput Datuk Haji Idris bin Haji Ahmad, Bagan Serai.
Datuk Haji Idris bin Haji Ahmad - Bagan Serai
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.
PRN Johor sudah dekat, Harga diesel turun begitu cepat; Rakyat tunggu dan lihat, Soalan saya nombor empat.
[Dewan riuh]
4. Datuk Haji Idris bin Haji Ahmad [Bagan Serai] minta Perdana Menteri menyatakan bagaimana kerajaan menilai keberkesanan kurikulum Pendidikan Islam dalam membentuk pelajar berilmu, berfikiran kritis dan mampu berdialog secara sihat tentang isu-isu kontemporari serta apakah mekanisme penyelarasan antara kerajaan dan MAIN bagi memastikan kualiti pengajaran Pendidikan Islam berkualiti tinggi di seluruh Malaysia.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) - Puan Marhamah binti Rosli
Terima kasih Yang Berhormat Bagan Serai. Nanti saya jawab pantun.
Seorang Ahli
Jawablah, Menteri.
Puan Marhamah binti Rosli
Nantilah, postponed. Puan Yang di-Pertua, Pendidikan Islam merupakan usaha berterusan untuk membentuk insan yang berilmu, berakhlak, berdaya saing dan berkemampuan dalam membuat pertimbangan berlandaskan Al-Quran dan Al-Sunnah. Bagi menilai keberkesanan kurikulum Pendidikan Islam, kerajaan melalui Kementerian Pendidikan (KPM) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), melaksanakan penilaian secara berterusan melalui beberapa pendekatan.
Yang pertama, melalui penilaian kurikulum dan pencapaian murid, menerusi analisis kurikulum, pentaksiran, peperiksaan, pemantauan pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran iaitu PdP dan maklum balas daripada guru dan murid. Penilaian ini bukan semata-mata untuk mengukur penguasaan ilmu malah turut mengambil kira aspek penghayatan, amalan dan pembentukan sahsiah murid.
Puan Marhamah binti Rosli
Yang kedua, menerusi Kurikulum Persekolahan 2027 (KP 2027), mata pelajaran Pendidikan Islam diperkukuh dengan penekanan kepada penguasaan ilmu, kemahiran, sahsiah dan juga adab. Kurikulum ini turut mengintegrasikan elemen kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT), pemikiran kritis, penyelesaian masalah, kemahiran berkomunikasi dan keupayaan untuk memahami, membincangkan isu-isu semasa secara berhemah.
Yang ketiga, pelaksanaan program KAFA yang diselaraskan oleh JAKIM yang berperanan sebagai pelengkap kepada Pendidikan Islam di sekolah-sekolah, yang mana Kurikulum KAFA 2.0 yang dibangunkan hasil kajian dan penilaian berterusan turut menekankan aspek adab, amali ibadah, penghayatan nilai Islam serta kemahiran berfikir bersesuaian dengan perkembangan semasa.
Puan Yang di-Pertua, selain daripada penilaian akademik, keberkesanan pendidikan Islam turut diukur melalui penglibatan murid dalam aktiviti-aktiviti kokurikulum. Contoh seperti Majlis Ihtifal Ilmi Sekolah Rendah Agama dan Sekolah Menengah Agama Malaysia yang dikenali sebagai MIISRA dan MIISMAM yang memupuk kepimpinan, komunikasi, pemikiran kritis dan adab. Penyertaan pelajar- pelajar dalam program-program ini turut mendapat markah Pentaksiran Aktiviti Jasmani Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) serta diambil kira dalam pemilihan ke sekolah khusus dan kemasukan ke institut pengajian tinggi.
Berhubung dengan isu mekanisme penyelarasan antara kerajaan dan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN), fungsi tersebut dilaksanakan melalui Jawatankuasa Penyelarasan Pendidikan Islam Kebangsaan (JPPIK) di bawah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI). JPPIK yang dianggotai oleh JAKIM, KPM dan wakil pihak berkuasa agama negeri berperanan untuk menyelaras dasar, kurikulum, buku teks, peperiksaan dan hala tuju pendidikan Islam di peringkat kebangsaan. Platform ini membolehkan penyeragaman standard pendidikan Islam dilaksanakan tanpa menjejaskan bidang kuasa negeri dalam hal ehwal agama Islam.
Di samping itu, JAKIM dan KPM terus memperkukuh kerjasama strategik dengan pihak berkuasa agama negeri melalui pembangunan kurikulum, latihan guru, perkongsian bahan pengajaran digital, pemantauan berkala serta program pembangunan profesional berterusan bagi memastikan kualiti pengajaran pendidikan Islam sentiasa relevan, berkualiti dan memenuhi keperluan semasa.
Sekian, terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Bagan Serai.
Datuk Haji Idris bin Haji Ahmad - Bagan Serai
Terima kasih kepada Puan Speaker. Terima kasih kepada Timbalan Menteri.
Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran, Kurikulum Standard Sekolah Menengah ataupun DSKP dan KSSM Pendidikan Islam yang sedia ada ini digubal sebelum daripada tercetusnya isu-isu kontroversi sepertimana serangan-serangan yang berlaku di dalam media sosial dan juga digital. Justeru itu, bilakah kali terakhir DSKP Pendidikan Islam ini disemak semula secara menyeluruh untuk merangkumi isu-isu kontemporari?
Dan yang keduanya, adakah kerajaan mempunyai instrumen pentaksiran ataupun kajian impak khusus, selain daripada markah PBD ataupun Pentaksiran dalam Bilik Darjah, yang mengukur keupayaan murid berdialog memungkinkan mereka itu boleh menghuraikan serta menjawab tentang isu-isu kontemporari hasil daripada pendidikan Islam yang diberikan kepada mereka? Terima kasih kepada Puan Pengerusi.
Puan Marhamah binti Rosli
Terima kasih, Yang Berhormat Bagan Serai.
Ada dua soalan. Yang pertama, bilakah kali terakhir DSKP dan KSSM disemak dan kedua berkaitan dengan instrumen kajian impak khusus selain daripada PBD. Saya ringkaskan.
Dato’ Mohd Isam bin Mohd Isa - Tampin
[Bangun]
Tuan Mohd Sany bin Hamzan - Hulu Langat
[Bangun]
Dato’ Sri Sh Mohmed Puzi bin Sh Ali - Pekan
[Bangun]
Puan Marhamah binti Rosli
Yang pertama, DSKP dan KSSM disemak dan diambil oleh KPM dalam usaha Kurikulum Persekolahan 2027 yang diperkenalkan.
Dalam KP 2027.
Berkaitan dengan instrumen kajian impak khusus, pihak JAKIM dan pihak- pihak yang berkaitan sentiasa menilai, menambah baik, menyemak― kerana memandangkan isu-isu berkaitan dengan pendidikan anak-anak ini, tidak boleh kita terlalu tergopoh gapah dalam membuat keputusan. Namun, instrumen dan kajian ini sentiasa kita upgrade― apa istilahnya? Sentiasa kita perbaiki dari semasa ke semasa untuk memastikan anak-anak ini sentiasa relevan ya antara pendidikan Islam dan isu-isu semasa yang berlaku di media sosial dan isu-isu lain lah yang berlaku di sekitar kita buat masa ini.
Dan, insya-Allah, saya mengambil berat atas isu yang diketengahkan oleh Yang Berhormat Bagan Seria dan doakan mudah-mudahan kajian dan instrumen ini dapat kita perbaiki dari semasa ke semasa memandangkan kita berada dalam satu dunia yang sangat laju dan anak-anak juga sangat terdedah kepada isu-isu yang merisaukan kita semua.
Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Hulu Langat.
Tuan Mohd Sany bin Hamzan - Hulu Langat
Hulu Langat.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Hulu Langat.
Tuan Mohd Sany bin Hamzan - Hulu Langat
Ha. Terima kasih, Speaker.
Soalan daripada Yang Berhormat Bagan Serai ini memang soalan yang sangat cantiklah. Cuma, Menteri, saya nak tanya begini Menteri.
Yalah, kalau kita tengok isu-isu di luar ini, dulu dalam kempen-kempen pilihan rayanya, kita dengar macam-macam. Contohnya, kalau andai kata Anwar Ibrahim jadi Perdana Menteri nanti tak boleh sembahyanglah, budak-budak tak boleh pakai tudunglah, kena pakai skirtlah. Islam terancamlah, Melayu terancamlah, Raja-raja terancamlah. Jadi, saya nak tanya dengan Kementerian Pendidikan ini. Sebab, soalan ini bagus sebab kita nak melahirkan pelajar-pelajar yang kritis, pelajar-pelajar yang berfikir.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Straight to the point, Yang Berhormat.
Datuk Haji Awang bin Hashim - Pendang
Puan Yang di-Pertua. Puan Yang di-Pertua, 36(6).
Tuan Haji Mohd Syahir bin Che Sulaiman - Bachok
Berita palsu itu. Berita palsu, Yang Berhormat.
Tuan Mohd Sany bin Hamzan - Hulu Langat
Jadi, saya nak tanya dengan Yang Berhormat Menteri, apakah strategi...
Datuk Haji Awang bin Hashim - Pendang
Peraturan Dewan. Peraturan Dewan.
Tuan Mohd Sany bin Hamzan - Hulu Langat
Apakah― eh, yang terasa kenapa?
Datuk Haji Awang bin Hashim - Pendang
Peraturan Dewan 36(6).
Tuan Mohd Sany bin Hamzan - Hulu Langat
Saya tak sebut siapa-siapa pun.
Datuk Haji Awang bin Hashim - Pendang
Peraturan Dewan 36(6). Okey, baik.
Tuan Mohd Sany bin Hamzan - Hulu Langat
Ha, soalan saya, saya nak tanya kepada Kementerian Pendidikan, kepada Kementerian Agama ini...
Datuk Haji Awang bin Hashim - Pendang
Dia ni betul-betul mentallah, saya tengok. 36(6).
Tuan Mohd Sany bin Hamzan - Hulu Langat
Apakah mekanisme yang digunakan― apakah mekanisme yang digunakan untuk...
Datuk Haji Awang bin Hashim - Pendang
Puan Yang di-Pertua, 36(6).
Saya tak nak jadi macam dia.
Tuan Mohd Sany bin Hamzan - Hulu Langat
...Membendung fahaman- fahaman, sentimen-sentimen jahat yang menular...
Datuk Haji Awang bin Hashim - Pendang
Sangkaan jahat.
Tuan Mohd Sany bin Hamzan - Hulu Langat
...Yang dilakukan oleh pihak- pihak tertentu yang tidak bertanggungjawab untuk mendapatkan sokongan untuk mendapatkan undi dan juga untuk menakutkan rakyat dalam negara kita Malaysia yang kita cintai ini.
Datuk Haji Awang bin Hashim - Pendang
Ini yang dia sebut itu adalah berita palsu. Minta tarik balik. Tak pernah ada dalam― 36(12). Boleh dihukum enam bulan itu.
Tuan Mohd Sany bin Hamzan - Hulu Langat
Saya tak tuduh siapa-siapa pun.
Tuan Jimmy Puah Wee Tse - Tebrau
Tak tuduh pun. Tak sebut nama pun.
Datuk Haji Awang bin Hashim - Pendang
Tengok, tengok.
Tuan Mohd Sany bin Hamzan - Hulu Langat
Saya tak tuduh siapa-siapa pun. Pendang duduklah, Pendang.
Datuk Haji Awang bin Hashim - Pendang
Malu dekat budak sekolah.
Bercakap sampai tak ada...
Tuan Mohd Sany bin Hamzan - Hulu Langat
Eh, tak dak apa?
Datuk Haji Awang bin Hashim - Pendang
Ini 36(12). Berhentilah. Ini Peraturan Dewan.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Hulu Langat, Hulu Langat.
Tuan Mohd Sany bin Hamzan - Hulu Langat
Mana buku?
Datuk Haji Awang bin Hashim - Pendang
Saya ada depan ini.
Tuan Mohd Sany bin Hamzan - Hulu Langat
Tengok buku.
Datuk Haji Awang bin Hashim - Pendang
Ya, ini 36(6).
Tuan Mohd Sany bin Hamzan - Hulu Langat
Okey, saya duduklah. Ada buku, saya duduk.
Datuk Haji Awang bin Hashim - Pendang
Tak payah angkat. Saya ingat dalam otak. Bukan macam kamu itu mental.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Yang Berhormat.
Tuan Mohd Sany bin Hamzan - Hulu Langat
Eh, apa mental, mental ni?
Datuk Haji Awang bin Hashim - Pendang
Okey, baik. Puan Yang di- Pertua...
Tuan Mohd Sany bin Hamzan - Hulu Langat
Speaker...
Tuan Jimmy Puah Wee Tse - Tebrau
Tarik balik.
Tuan Mohd Sany bin Hamzan - Hulu Langat
Tarik balik. Dia sebut mental.
Datuk Haji Awang bin Hashim - Pendang
Selesai isu babi di Selangor dulu sebelum nak bercakap bab lain.
Tuan Mohd Sany bin Hamzan - Hulu Langat
Isu babi apa?
Datuk Haji Awang bin Hashim - Pendang
Itu berita palsu.
Tuan Mohd Sany bin Hamzan - Hulu Langat
Saya tak sebut fasal babi pun.
Datuk Haji Awang bin Hashim - Pendang
Anwar Ibrahim jadi itu, minta dia tarik balik. Itu tak betul.
Tuan Mohd Sany bin Hamzan - Hulu Langat
Eh, apa tak betul pula? Video ada.
Datuk Haji Awang bin Hashim - Pendang
Tak ada siapa cakap pun. Dia bawa dalam Dewan ini benda yang fakta, bukan boleh buat assuming, andaian. Itu jahat itu.
Tuan Mohd Sany bin Hamzan - Hulu Langat
Itu fakta.
Datuk Haji Awang bin Hashim - Pendang
Itu kenyataan jahat. Minta dia tarik balik.
Tuan Mohd Sany bin Hamzan - Hulu Langat
Eh, itu fakta. Parti kamu lah.
Datuk Haji Awang bin Hashim - Pendang
Tak pernah.
Tuan Mohd Sany bin Hamzan - Hulu Langat
Itu parti kamu lah sebut benda itu dalam kempen politik.
Datuk Haji Awang bin Hashim - Pendang
Tak apalah. Selesailah isu babi itu. Jilatlah pungqoq bagi selesai.
Tuan Mohd Sany bin Hamzan - Hulu Langat
Kalau tidak, takkan Pesuruhjaya PAS...
[Pembesar suara dimatikan]
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Ahli-ahli Yang Berhormat.
Datuk Haji Awang bin Hashim - Pendang
Apa ini? Saya tak tahu...
[Berucap tanpa menggunakan pembesar suara]
Tuan Mohd Sany bin Hamzan - Hulu Langat
Saya minta Menteri tolong jawablah isu itu. Sentimen perkauman, sentimen agama, sentimen bangsa.
Datuk Haji Awang bin Hashim - Pendang
Ini mental... [Pembesar suara dimatikan]
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Ahli-ahli Yang Berhormat, kalau tak dapat tanya soalan baik-baik, tak perlu tanya...
[Tepuk]
[Dewan riuh]
Tuan Mohd Sany bin Hamzan - Hulu Langat
Tak. Soalan okey apa, Speaker.
Datuk Haji Awang bin Hashim - Pendang
Saja je ni.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Cukuplah.
Cukup.
[Dewan riuh]
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Ahli-ahli Yang Berhormat, sila duduk. Hulu Langat, Pendang.
Datuk Haji Awang bin Hashim - Pendang
Saya minta 36(12). Dia tarik balik perkataan...
[Dicelah]
[Dewan riuh]
Datuk Haji Awang bin Hashim - Pendang
Tarik balik.
Tuan Haji Mohd Misbahul Munir bin Masduki - Parit Buntar
Tarik balik.
[Dewan riuh]
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Ahli-ahli Yang Berhormat.
Tuan Mohd Sany bin Hamzan - Hulu Langat
[Berucap tanpa menggunakan pembesar suara]
Datuk Haji Awang bin Hashim - Pendang
[Berucap tanpa menggunakan pembesar suara] [Tidak jelas] Fitnah [Tidak jelas]
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Cukuplah, tak malu ke?
Tuan Mohd Sany bin Hamzan - Hulu Langat
[Berucap tanpa menggunakan pembesar suara]
[Dewan riuh]
Tuan Mohd Sany bin Hamzan - Hulu Langat
[Berucap tanpa menggunakan pembesar suara]
Datuk Haji Awang bin Hashim - Pendang
[Berucap tanpa menggunakan pembesar suara] [Tidak jelas] Puan Yang di-Pertua, saya minta balik— saya minta ruling daripada Puan Yang di-Pertua berkenaan...
[Tidak jelas]
Tuan Mohd Sany bin Hamzan - Hulu Langat
Ajak bertumbuk kemudian kata nak bincang. Ini...
Tuan Haji Mohd Misbahul Munir bin Masduki - Parit Buntar
Tarik baliklah Hulu Langat.
[Dewan riuh]
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Saya rasa tak perlulah Menteri jawab, tak perlu.
[Dewan riuh]
Datuk Haji Awang bin Hashim - Pendang
[Berucap tanpa menggunakan pembesar suara] Ini gila punya orang.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Kalau Pendang tak puas hati, boleh buat usul selepas ini, okey.
Dato’ Mohd Isam bin Mohd Isa - Tampin
Puan, puan saya ada soalan yang baik.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Saya jemput Dato’ Seri Utama Ir. Hasni bin Mohammad, Simpang Renggam.
Tuan Sanisvara Nethaji Rayer a/l Rajaji - Jelutong
Timbalan Speaker.
Dato’ Mohd Isam bin Mohd Isa - Tampin
Puan Yang di-Pertua, Tampin ada soalan yang cukup baik.
Datuk Haji Awang bin Hashim - Pendang
[Tidak jelas]
Tuan Sanisvara Nethaji Rayer a/l Rajaji - Jelutong
Puan Yang di-Pertua...
[Pembesar suara dimatikan]
[Dewan riuh]
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Cukup.
Tuan Sanisvara Nethaji Rayer a/l Rajaji - Jelutong
Yang di-Pertua, saya ingin merujuk kepada Peraturan Dewan 36.
Datuk Haji Awang bin Hashim - Pendang
Saya peraturan Dewan tadi tak dengar, yang kes ini slow fasal saya punya Peraturan Dewan pun Puan tak buat ruling, ini pula dia nak buat kes yang sama untuk buat Peraturan Dewan. Ini nak ganggu je, kacau je dia ini.
[Berucap tanpa menggunakan pembesar suara] Saya tak tahu lawyer mai daripada universiti mana yang teruk.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Simpang Renggam. Jelutong nak buat usul atau Peraturan Mesyuarat selepas Q&A. Simpang Renggam.
Datuk Seri Utama Ir. Hasni bin Mohammad - Simpang Renggam
Terima kasih, Puan Yang di-Pertua. Ini soalan senang sahaja, yang tadi itu susah sikit.
Soalan nombor 5.
5. Datuk Seri Utama Ir. Hasni bin Mohammad [Simpang Renggam] minta Menteri Ekonomi menyatakan strategi kepelbagaian ekonomi negara bagi mengurangkan kebergantungan kepada sektor komoditi berikutan kemerosotan berterusan sektor perlombongan dan pengkuarian.
Timbalan Menteri Ekonomi - Dato’ Indera Mohd Shahar bin Abdullah
Terima kasih Puan Yang di-Pertua, terima kasih Ahli Yang Berhormat Simpang Renggam.
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, kepelbagaian ekonomi negara dapat dilihat berdasarkan perubahan struktur ekonomi yang dicapai hasil pelaksanaan pelbagai dasar transformasi serta keupayaan negara menyesuaikan diri dengan persekitaran dan ekonomi global yang dinamik. Perubahan ini telah menjadikan struktur negara lebih pelbagai dan kurang bergantung kepada sektor berasaskan komoditi, selaras dengan usaha memperkukuhkan aktiviti nilai ditambah yang lebih tinggi dan berasaskan penciptaan nilai.
Ahli Yang Berhormat, pada tahun 2025, ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 5.2 peratus yang dipacu terutamanya oleh sektor perkhidmatan, pembuatan dan pembinaan. Sektor perkhidmatan merupakan penyumbang terbesar kepada KDNK dengan sumbangan 59.5 peratus diikuti pembuatan 23 peratus, pertanian 61 peratus, perlombongan dan pengkuarian 5.7 peratus serta pembinaan 4.3 peratus.
Tuan Yang di-Pertua, dari segi perdagangan, eksport negara turut menunjukkan kepelbagaian yang lebih kukuh. Pada tahun 2025, eksport produk E&E menyumbang hampir 45 peratus daripada jumlah eksport Malaysia, manakala sumbangan komuniti daripada China termasuk petroleum dan LNG semakin berkurangan berbanding tempoh terdahulu. Perkembangan ini mencerminkan kejayaan negara mengurangkan kebergantungan kepada sektor komoditi dan beralih kepada aktiviti ekonomi bernilai ditambah yang lebih tinggi.
Bagi memperkukuhkan kepelbagaian ekonomi negara, selaras dengan aspirasi Ekonomi MADANI, Ahli Yang Berhormat, kerajaan akan terus melaksanakan strategi yang telah ditetapkan di dalam Rancangan Malaysia Ketiga Belas. Strategi ini antara termasuk meningkatkan kerencaman ekonomi, memperhebatkan pertumbuhan yang terangkum, mampan serta seimbang serta memperhebatkan perluasan jaringan perdagangan pada peringkat global. Potensi ekonomi hijau, ekonomi biru, ekonomi jingga juga akan terus diperkasakan sebagai pemacu pertumbuhan baharu.
Ahli Yang Berhormat, pembangunan industri mempunyai pertumbuhan nilai yang tinggi high-growth, high-value akan dipercepatkan. Termasuk industri semikonduktor, E&E bernilai tinggi, teknologi digital, AI. Sebagai contoh, tumpuan akan diberikan kepada aktiviti bernilai tinggi dalam reka bentuk litar bersepadu, selaras dengan akses token kepada tiga syarikat yang telah ditawarkan tempoh hari untuk meningkatkan keupayaan mereka dalam reka bentuk cip tempatan dan mempercepatkan pembangunan produk semi konduktor yang direka bentuk di negara kita sendiri.
Ahli Yang Berhormat, kesemua usaha ini disokong dengan peningkatan aktiviti penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi, memperkukuhkan ekosistem perniagaan, pemerkasaan bakat, penerima gunaan teknologi termaju. Selain itu Ahli Yang Berhormat, produktiviti sektor juga akan diperkukuhkan bagi membolehkan industri tempatan meningkatkan daya saing dan menembusi pasaran antarabangsa.
Ahli Yang Berhormat, kerajaan juga akan memperluaskan jaringan perdagangan dan pelaburan antarabangsa melalui kerjasama serantau dan global termasuk penyertaan Malaysia sebagai negara rakan BRICS dan pengukuhan kerjasama di peringkat ASEAN. Terima kasih, Puan Yang di-Pertua.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Simpang Renggam.
Datuk Seri Utama Ir. Hasni bin Mohammad - Simpang Renggam
Terima kasih Puan Yang di-Pertua.
Tahniah Yang Berhormat Timbalan Menteri atas penjelasan yang diberikan.
Nampaknya kita ada strategi yang tepat dalam mempelbagaikan ekonomi. Walau bagaimanapun, kalau dapat dirumuskan Yang Berhormat, apakah agaknya jangkaan pertumbuhan ekonomi kita berdasarkan kepada strategi-strategi dan juga usaha yang dibuat bagi menjayakan kepelbagaian ekonomi kita ini? Kerana, ia tentu ada risiko, tentunya ada jangkaan bila kita membuat satu strategi. Itu tidak termasuk tentang kesan geopolitik. Jadi, apakah agaknya berdasarkan pertumbuhan yang dijangkakan dan apakah risiko-risiko yang dihadapi oleh kerajaan?
Dato’ Indera Mohd Shahar bin Abdullah
Ahli Yang Berhormat, Puan Yang di-Pertua, anggaran KDNK Malaysia sepertimana yang telah dinyatakan oleh Bank Negara Malaysia pada tahun ini bergerak di antara 4.0 peratus dan 5.0 peratus.
Dan faktor sudah pasti unjuran ini mencerminkan sebenarnya daya tahan ekonomi negara berada di tahap yang optimum kerana faktor-faktor sepertimana yang disebutkan oleh Yang Berhormat Simpang Renggam sebentar tadi. Ada faktor- faktor yang menyokong kepada pertumbuhan KDNK negara.
Yang pertamanya adalah pasaran domestik itu sendiri yang menjadi pemacu utama. Yang keduanya, kitaran teknologi global. Yang ketiganya, risiko luaran.
Kerajaan sudah pasti berwaspada dan sentiasa melihat bagaimana downside risk terhadap apa yang berlaku di peringkat geopolitik. Jadi, unjuran Bank Negara yang saya sebutkan tadi adalah selari seperti mana yang telah dinyatakan oleh IMF yang menyangka pertumbuhan negara akan meningkat di antara 4.7 peratus dan bank dunia juga 4.4 peratus.
Puan Yang di-Pertua, sudah pasti dengan kesan geopolitik ini, sudah pasti negara kita juga terkesan kerana seperti mana saya sebutkan tadi faktor luaran itu juga menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi. Namun, walau bagaimanapun, ekonomi ini juga memberi kesan kepada Malaysia tetapi kita kena lihat bagaimana kerajaan respons terhadap perkara-perkara yang berlaku.
Itu sebabnya setakat hari ini 12 kali sudah mesyuarat khas MTEN dilaksanakan, 29 kertas pertimbangan telah dibentangkan merentasi 13 sektor ekonomi dan kita telah minitkan 124 keputusan di atas mesyuarat tersebut untuk kita melihat bagaimana jangka masa panjang, jangka masa pendek. Kita ada kluster- kluster tertentu Yang Berhormat yang saya kira kita berada dalam keadaan yang baik untuk memastikan kita bukan lagi ketahanan ekonomi tetapi kita juga nak memberi kesan kepada rakyat di peringkat bawahan. Terima kasih, Puan Yang di-Pertua.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Temerloh.
Puan Hajah Salamiah binti Mohd Nor - Temerloh
Okey, terima kasih Speaker. Saya mendengar tadi huraian berkaitan kepelbagaian ekonomi yang dirancang.
Saya ingin mengetahui berapakah sasaran peratus pekerjaan baharu yang akan diwujudkan melalui strategi kepelbagaian ekonomi negara kita untuk menggantikan penggantungan kepada sektor komoditi. Apakah insentif yang disediakan kepada PKS untuk memainkan peranan dalam proses kepelbagaian ekonomi? Terima kasih.
Dato’ Indera Mohd Shahar bin Abdullah
Terima kasih Yang Berhormat Temerloh atas persoalan berkaitan peluang pekerjaan.
Sudah pasti apabila kita merangka sesuatu pelan strategi untuk menggantikan kaedah tradisional, kita sudah pastinya akan menganggarkan pertumbuhan itu memberi kesan kepada pekerjaan kerana sektor-sektor yang kita akan bagi tumpuan dalam high-growth, highvalue adalah berkaitan REE, ekonomi digital teknologi termaju, peralihan tenaga dan juga sektor perkhidmatan bernilai tinggi dan pelancongan.
Tetapi yang palingnya Yang Berhormat, bukan sahaja bantuan diberikan kepada pihak PMKS, tetapi kita nak lihat bagaimana PMKS itu mempunyai keupayaan untuk beradaptasi dengan keadaan suasana pertumbuhan ekonomi global yang bukan lagi berasaskan kepada traditional method. Ia berasaskan kepada intelligence, seperti mana yang dijawab oleh Menteri Digital sebentar tadi dan saya kira pertumbuhan ini akan memberi kesan sekiranya kita mempunyai PMKS yang berani membuka ruang mereka untuk beradaptasi terhadap teknologi-teknologi yang akhirnya bukan sahaja peluang pekerjaan disediakan kepada rakyat, tetapi peluang pekerjaan berkualiti tinggi yang akan memberi pulangan dalam bentuk gaji yang begitu tinggi seperti mana yang berada di pusat data, Tuan Yang di-Pertua.
Dato’ Indera Mohd Shahar bin Abdullah
Dahulunya hanya RM7,000 tetapi suku kedua tahun 2025, ia telah meningkat lebih RM8,500 bagi purata dalam sektor pekerja formal. Terima kasih Puan Yang di- Pertua.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Saya jemput Puan Isnaraissah Munirah Majlis, Kota Belud.
Puan Isnaraissah Munirah binti Majilis @ Fakharudy - Kota Belud
Terima kasih Puan Speaker.
[Berucap dalam dialek Bajau] Soalan saya nombor 6.
6. Puan Isnaraissah Munirah Majilis [Kota Belud] minta Perdana Menteri menyatakan:
(a) status terkini pelaksanaan perkara-perkara di bawah Perjanjian Malaysia 1963; dan
(b) garis masa terkini bagi menambah jumlah kerusi Parlimen di Sabah dan di Sarawak agar ia nya mewakili 35 peratus daripada kerusi Parlimen di Malaysia.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) - Datuk Ts. Mustapha Sakmud
Terima kasih Puan Yang di-Pertua. Selamat sensaung juga kepada [Berucap dalam dialek Bajau] saya. Ini kami cakap Bajau ya Puan Yang di- Pertua, sebab dua-dua dari Kota Belud.
Puan Yang di-Pertua, untuk makluman Yang Berhormat, Kerajaan MADANI kekal komited dalam meneruskan perundingan mengenai perkara-perkara di bawah Perjanjian Malaysia 1963 yang dikemukakan oleh Kerajaan Negeri Sabah dan Kerajaan Negeri Sarawak supaya dapat diselesaikan mengikut Perlembagaan Persekutuan dan kerangka perundangan sedia ada.
Sehingga kini jumlah perkara dibincangkan di bawah platform rundingan rasmi MA63 adalah sebanyak 29 perkara. Daripada 29 perkara tersebut, sebanyak 13 perkara telah dapat diselesaikan dan ada peningkatan kali ini. Lima perkara juga telah selesai sebahagian atau pun interim. Manakala terdapat 11 perkara belum selesai iaitu dua perkara yang telah mempunyai keputusan dasar. Empat perkara yang masih dalam perbincangan dan lima perkara kini dirujuk untuk perbincangan atau keputusan peringkat tertinggi.
Untuk makluman Yang Berhormat, yang terkini Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal di bawah Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 Bilangan 1 Tahun 2026 yang diadakan pada 2 Mac 2026 yang lalu telah memutuskan supaya empat perkara dikategorikan sebagai selesai sebahagian atau interim iaitu yang pertama pertambahan perjawatan perkhidmatan awam negeri Sabah dan Sarawak di bawah Perkara 112 Perlembagaan Persekutuan.
Yang kedua, Borneonisasi Perkhidmatan Awam Persekutuan di negeri Sabah dan Sarawak. Yang ketiga, isu kesihatan dan yang keempat, isu pendidikan.
Perkara-perkara ini telah dipersetujui untuk diletakkan di bawah kategori selesai sebahagian atau interim kerana sebahagian besar tuntutan tersebut telah pun dilaksanakan oleh kementerian, agensi yang berkaitan.
Bagi baki perkara di bawah MA63 yang masih belum selesai, ia akan terus dipantau oleh Bahagian Hal Ehwal Sabah/Sarawak (BHESS) Jabatan Perdana Menteri selaku sekretariat kepada MTP MA63 dan jawatankuasa teknikal di bawah MTP MA63 bersama dengan semua pemegang taruh di peringkat Persekutuan Kerajaan Negeri Sabah dan Kerajaan Negeri Sarawak.
Seterusnya bagi soalan berkaitan penambahan jumlah kerusi parlimen di Sabah dan Sarawak, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjalankan urusan kajian semula persempadanan bahagian-bahagian pilihan raya persekutuan dan negeri berlandaskan kepada prinsip-prinsip dan tatacara persempadanan yang ditetapkan di bawah Jadual Ketiga Belas Perlembagaan Persekutuan serta menurut bidang kuasa SPR yang diperuntukkan di bawah Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan.
Perkara ini dalam kategori belum selesai dan status dalam perbincangan.
Urusan kajian semula persempadanan terhadap bahagian-bahagian pilihan raya sedia ada hanya boleh dilaksanakan selepas tamat tempoh lapan tahun atau terdapat pindaan undang-undang ke atas komposisi bilangan keanggotaan Ahli Dewan Rakyat, pindaan Perkara 46 Perlembagaan Persekutuan atau Dewan Undangan Negeri.
Pindaan terhadap Perkara 46 ini perlu mendapat persetujuan dua pertiga daripada Ahli Dewan Rakyat. Dan cadangan pertambahan ini hendaklah datang daripada kerajaan sendiri. Dalam menjalankan kajian ini, SPR diberikan tempoh masa selama dua tahun untuk menyiapkan kajian tersebut bermula dari tarikh tersiarnya notis yang disebut dalam seksyen 4 Jadual Ketiga Belas Perlembagaan Persekutuan sehinggalah laporan akhir kajian dikemukakan kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri seperti yang diperuntukkan dalam fasal 9 dan 10 Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan.
Akhirnya, Kerajaan MADANI beriltizam untuk menyegerakan penyelesaian kepada semua perkara di bawah MA63. Namun tempoh masa bagi penyelesaian setiap tuntutan adalah tertakluk kepada proses perundangan yang berkaitan. Selain itu, tahap kesediaan Kerajaan Negeri Sabah dan Kerajaan Negeri Sarawak dari sudut operasi sumber manusia dan kewangan juga merupakan antara aspek yang perlu diambil kira sebelum suatu tuntutan di bawah MA63 dapat diselesaikan. Sekian, terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Kota Belud.
Puan Isnaraissah Munirah Majilis - Kota Belud
Pada 18 November 2019, ada satu laporan akhir Jawatankuasa Khas Kabinet (JKK) untuk menyemak pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 yang telah pun dibentangkan kepada Jemaah Menteri pada bulan Disember 2019. Saya percaya YB Menteri juga tahu berkenaan laporan ini yang berstatus rahsia.
Saya tanya bilakah kerajaan akan buka laporan ini kepada pengetahuan umum kepada public kerana saya percaya laporan ini juga adalah asas perundingan kepada kerajaan-kerajaan selepas ini? Kenapa Sabah ada empat perkara daripada 11 perkara yang tadi Yang Berhormat Menteri cakap, ada empat perkara yang paling orang Sabah mahu tahu iaitu royalti minyak dan bayaran tunai petroleum.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Ringkaskan.
Puan Isnaraissah Munirah Majilis - Kota Belud
Kedua, mineral minyak dan medan minyak. Ketiga, Akta Laut Wilayah [Akta 750] dan keempat hak negeri ke atas pelantar benua. Kenapa saya petik empat perkara ini? Sebab empat perkara ini gantung daripada selepas laporan akhir itu yang tadi saya tanya.
Dan yang terakhir di-Pertua, baru-baru ini bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan yang merupakan saksi kepada perjanjian petroleum yang ditandatangani di bawah Akta Kemajuan Petroleum 1974, jadual subseksyen 2(2) pada bulan Jun 1976 di Sabah, menyatakan bahawa perjanjian itu tidak pernah dibincangkan dan tidak pernah mendapat kelulusan Kabinet negeri Sabah sebelum ditandatangani.
Jadi soalan saya kepada Yang Berhormat Menteri, apakah pendirian Kerajaan Persekutuan terhadap pendedahan ini? Ini baru-baru sahaja mungkin baru kelmarin begitu lebih kurang. Adakah kerajaan sedia menilai keabsahan perundangan, penyerahan hak tersebut bagi mengelakkan pertikaian perlembagaan di mahkamah pada masa hadapan?
Terima kasih Puan Yang di-Pertua.
Datuk Ts. Mustapha Sakmud
Terima kasih kepada Yang Berhormat Kota Belud atas soalan tambahan tersebut. Ada tiga persoalan yang telah ditimbulkan.
Okey yang pertama tentang laporan yang perlu didedahkan kepada umum ini. Saya ingin menarik perhatian Yang Berhormat Kota Belud bahawa pada 28 Julai 2020, mantan Timbalan Menteri Hal Ehwal Sabah dan Sarawak telah mengeluarkan kenyataan bahawa kerajaan kekal pada pendirian bahawa tiada keperluan bagi laporan akhir Jawatankuasa Khas Kabinet bagi menyemak pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 didedahkan kepada umum memandangkan isu kandungan dan perbincangan yang direkodkan adalah bersifat teknikal dan melibatkan perkara sensitif.
Dr. Haji Abd Ghani bin Ahmad - Jerlun
[Bangun]
Datuk Seri Panglima Madius bin Tangau - Tuaran
[Bangun]
Datuk Ts. Mustapha Sakmud
Dan dokumen-dokumen adalah bertaraf rahsia dan penarafan di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972. Setakat ini kita kekal dengan pendirian ini kecuali ada arahan-arahan terbaru.
Okey, yang ketiga tentang isu yang mengenai yang melibatkan petroleum.
Untuk makluman Yang Berhormat, perkara melibatkan royalti minyak dan pembayaran tunai petroleum, mineral minyak dan medan minyak, akta wilayah laut, duti setem dan hak negeri yang empat perkara tadi adalah perkara-perkara yang dikategorikan dalam perkara yang perlu dirujuk keputusan atau perbincangan di peringkat tertinggi.
Jadi, maknanya perkara ini hanya dibincangkan di peringkat tertinggi di antara Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat Premier Sarawak dan Yang Amat Berhormat Ketua Menteri Sabah. Mesyuarat di antara ketiga-tiga pemimpin tersebut tertakluk kepada keperluan dan kesesuaian semasa.
Walau bagaimanapun kita akan terus memantau perkara-perkara ini di bawah Bahagian Hal Ehwal Sabah dan juga Sarawak.
Dan yang ketiga, saya pun sebenarnya telah mengikuti keterangan daripada Tan Sri Pairin Kitingan yang telah menjadi saksi pada PDA74. Perkara ini baru saja Yang Berhormat, jadi saya fikir kita perlukan masa untuk meneliti perkara ini untuk kita buat tindakan selanjutnya. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Jerlun.
Dr. Haji Abd Ghani bin Ahmad - Jerlun
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Jawapan Menteri sebentar tadi menyatakan setakat ini kerajaan masih belum bercadang untuk melaksanakan kajian semula persempadanan pilihan raya meskipun kajian dan analisis telah dilakukan oleh SPR.
Soalan tambahan saya ini berkait dengan soalan asal Kota Belud iaitu 6(b) berkaitan dengan tambahan kuota 35 peratus kerusi Parlimen untuk Sabah dan Sarawak. Soalan saya, adakah justifikasi kerajaan masih memberikan keutamaan kepada tuntutan 35 peratus kerusi parlimen sedangkan masih terdapat kawasan parlimen di Semenanjung Malaysia yang mempunyai jumlah pengundi jauh lebih ramai berbanding kerusi-kerusi Parlimen di Sabah dan Sarawak dan memerlukan semakan semula persempadanan bahagian pilihan raya tersebut.
Dr. Haji Abd Ghani bin Ahmad - Jerlun
Kedua, apakah pendirian kerajaan terhadap pandangan bahawa pengukuhan hak Sabah dan Sarawak sepatutnya dilaksanakan melalui pemerkasaan ekonomi, pembangunan dan infrastruktur asas serta pelaksanaan perjanjian MA63 berbanding menambah bilangan kerusi Parlimen yang disebutkan tadi? Sekian, terima kasih.
Datuk Ts. Mustapha Sakmud
Terima kasih kepada Yang Berhormat Jerlun atas soalan tambahan. SPR akan menjalankan kajian-kajian tentang persempadanan ini dan beberapa perkara yang dipertimbangkan. Yang pertama, kepadatan penduduk dan kadar pertumbuhan pemilih di dalam sesuatu bahagian pilihan raya, faktor geografi, topologi dan saiz kawasan, ruang untuk pembangunan baharu dan kemudahan infrastruktur dan juga bilangan perwakilan dan akses bagi rakyat untuk mendapatkan perkhidmatan daripada wakil rakyat.
Datuk Seri Panglima Madius bin Tangau - Tuaran
[Bangun]
Datuk Ts. Mustapha Sakmud
Cuma isu tentang MA63 yang telah disebut tadi, Yang Berhormat perlu faham tentang isu MA63 ini. Ini adalah asasnya dan kami di Sabah dan juga Sarawak ini, kami memikiri bahawa perlu ada representasi yang lebih untuk Ahli-ahli Parlimen kita. Dan di situlah dengan pertambahan Parlimen ini, dia akan mengukuhkan penyaluran dana dan juga perkara-perkara yang lain.
Jadi, saya fikir ini yang disuarakan oleh rakyat Sabah dan Sarawak. Dan dalam Mesyuarat MA63, perkara ini pun sudah dibincangkan dengan teliti. Yang Amat Berhormat Perdana Menteri juga telah meminta supaya SPR membuat kajian tentang isu ini. Jadi, kita akan melihat secara total. Sebab ini adalah asas pembentukan Malaysia dan Sabah dan Sarawak. Kita yang telah membentuk Malaysia dan kita memastikan bahawa hak kita dalam perlembagaan ditunaikan.
Sekian, terima kasih.
Datuk Seri Panglima Madius bin Tangau - Tuaran
Soalan tambahan.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Saya jemput Dato’ Seri Dr. Shahidan bin Kassim, Arau.
Dato’ Seri Dr. Shahidan bin Kassim - Arau
Yang Berhormat Speaker, saya mewakili sahabat saya Yang Berhormat Bachok, mohon memaklumkan kehadiran Ahli-ahli Majlis— Tuan Yang di-Pertua, Majlis Daerah Bachok, Bandar Pelancongan Islam ke Parlimen Malaysia, selamat datang.
[Tepuk] Sekarang ini Tuan Yang di-Pertua, musim tengkujuh. Soalan saya juga nombor 7.
7. Dato' Seri Dr. Shahidan bin Kassim [Arau] minta Menteri Pendidikan Tinggi menyatakan:
(a) berapa jumlah graduan IPTA dan IPTS bagi tempoh tiga tahun terkini; dan
(b) langkah kementerian menangani kira-kira 32.2 peratus graduan yang masih bekerja di bawah tahap kelayakan akademik dan adakah ini bukti kegagalan tanggungjawab Kerajaan MADANI
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi - Tuan Adam Adli Abd Halim
Tuan Yang di-Pertua, saya juga mohon agar jawapan bagi soalan nombor 7 ini dijawab bersama-sama dengan soalan nombor 11 oleh Jasin kerana ia turut berkaitan dengan graduan.
Untuk soalan pertama, dalam tempoh tiga tahun ini seramai 873,765 graduan warganegara telah pun menamatkan pengajian mereka di institusi pendidikan tinggi awam, termasuk universiti awam, politeknik, kolej komuniti serta institusi pendidikan tinggi swasta.
Soalan yang kedua iaitu berkaitan dengan kadar graduan. Berdasarkan data rasmi Sistem Kajian Pengesanan Graduan (SKPG) yang dikeluarkan oleh KPT, corak penempatan graduan memperlihatkan sebenarnya ada perkembangan yang positif, khususnya melalui peningkatan penguasaan pekerjaan mahir dalam kalangan graduan kita.
Kadar graduan yang bekerja atau graduate employment terus menunjukkan perkembangan positif dengan peningkatan daripada 90.9 peratus pada tahun 2023 kepada 92.5 peratus pada tahun 2024. Yang lebih penting, kita juga melihat peningkatan daripada sudut kualiti pekerjaan yang diperoleh oleh graduan ini.
Peratus graduan Ijazah Pertama yang menerima pendapatan RM3,001 hingga RM4,000 telah pun meningkat daripada 22.7 peratus pada tahun 2024 kepada 23.8 peratus untuk tahun 2025. Bagi kategori pendapatan RM4,001 ke atas pula, peratusannya turut meningkat daripada 11.0 peratus kepada 12.2 peratus.
Graduan diploma dan ke atas yang bekerja dalam pekerjaan mahir. Tahun 2025 juga meningkat sebanyak 3.8 mata peratus pada 72.1 peratus berbanding 68.3 peratus pada tahun 2023.
Untuk soalan sekitar 32.2 peratus siswazah yang meliputi tenaga kerja sedia ada pada tahun 2024, mereka masih bekerja dalam pekerjaan yang tidak setara dengan kelayakan akademik. Ini memang masalah yang diperakui, kita sebut sebagai under employment. Namun, fakta yang perlu kita lihat secara menyeluruh adalah angka ini menunjukkan trend menurun berbanding 33.8 peratus pada tahun 2021.
Jadi, cabaran kita memang masih besar, namun trend semasa angka ini menurun, bukan memburuk. Maka, ianya tidaklah boleh kita hendak kata ini kegagalan. Sebaliknya, ini adalah isu yang kita tahu lebih kompleks. Pertambahan jumlah graduan yang lebih pantas daripada penciptaan pekerjaan berkemahiran tinggi ini turut menyumbang kepada isu ini. Masa yang sama, perubahan pasaran global dan juga keadaan ekonomi turut memberi kesan.
Jadi, penyelesaiannya memerlukan pendekatan yang menyeluruh dan juga berasaskan kepada data serta fakta. Dalam hal ini, antara inisiatif utama oleh KPT untuk kita tingkatkan peratusan pekerjaan mahir dan setara dengan kelayakan pendidikan adalah terutama sekali, penjajaran semula program-program yang ditawarkan di universiti awam. Ini turut selaras dengan akreditasi yang dikeluarkan oleh MQA yang dijalankan setiap tiga hingga lima tahun.
Kemudian, penawaran kursus-kursus baharu yang selaras dengan keperluan terkini. AI, sains data dan analitik, keselamatan siber, robotik, automasi, semikonduktor, mikro elektronik, internet of things, ESG, FinTech dan sebagainya.
Mempergiatkan kerjasama rentas kementerian. Kita kerjasama dengan KESUMA, dengan MITI dan juga Kementerian Ekonomi serta kita kukuhkan kerjasama antara IPT dengan industri melalui platform seperti Majlis TVET, government-industry TVET collaboration serta kita kukuhkan juga menerusi program-program dalam kampus seperti Industry@University, CEO@Faculty, employability advisory committee dan juga industry advisory council.
Ini semua adalah usaha-usaha yang kita lakukan sekarang untuk memastikan bahawa trend menurun bagi kadar underemployment ini dapat kita kekalkan, terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Arau.
Dato' Seri Dr. Shahidan bin Kassim - Arau
Puan Yang di-Pertua, angka ini banyak pihak bagi dan saya ambil angka DOSM. DOSM memaklumkan bahawa 1.6 juta graduan yang bekerja dalam pekerjaan yang tidak setara dengan kelayakan akademik, ini DOSM.
Jadi, soalan saya Yang Berhormat ialah bila kerajaan bagi jawapan, kerajaan akan sebut global— macam-macam ya, masalah dunia lah. Memendekkan cerita, masalah dunia. Tetapi kita kena ingat, kehebatan sebuah kerajaan ialah yang mampu menyelesaikan masalah. Jadi, masalah ini boleh diselesaikan kalau sekiranya kita hendak selesai masalah.
Tetapi dalam masa yang sama, apa justifikasi kerajaan mempertimbangkan pengiktirafan UEC? Sedangkan UEC tidak mengikut sistem pelajaran kebangsaan.
Apakah kerajaan bercadang untuk mengiktiraf lebih banyak lagi sijil-sijil yang dikeluarkan oleh NGO? Sebab kita dah iktiraf UEC, kita kena juga iktiraf sijil mungkin daripada Kadazan, Iban dan sebagainya.
Jadi, dalam keadaan pekerjaan tidak setara dengan kelulusan, kerajaan memberi pengiktirafan. Itu sebab saya rasa ini adalah sesuatu yang telah mencemarkan sistem pendidikan kebangsaan dan beberapa Menteri wajar mengundur diri sebab tak dapat mempertahankan sistem pendidikan kebangsaan.
Bagaimana Menteri masih jadi Menteri, kalau sekiranya sistem pendidikan kebangsaan tidak dipertahankan? Terima kasih.
Tuan Adam Adli Abd Halim
Sabar, sabar.
Dato Dr. Richard Rapu @ Aman anak Begri - Betong
[Bangun]
Tuan Adam Adli Abd Halim
Tuan Yang di-Pertua, sebenarnya soalan yang dikemukakan— soalan tambahan ini lari daripada soalan asal.
Tuan Sanisvara Nethaji Rayer a/l Rajaji - Jelutong
Tuan Yang di-Pertua.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Boleh tak jawab.
Tuan Adam Adli Abd Halim
Underemployment. Tapi mudah untuk kita tamatkan di sini dengan mengatakan bahawa— sekali lagi kita tegaskan bahawa jangan kita politikkan isu ini.
Tuan Sanisvara Nethaji Rayer a/l Rajaji - Jelutong
Tuan Yang di-Pertua.
Tuan Adam Adli Abd Halim
Kita telah pun membuat banyak sesi libat urus.
Tuan Sanisvara Nethaji Rayer a/l Rajaji - Jelutong
Tuan Yang di-Pertua, saya...
Tuan Adam Adli Abd Halim
Malah, kita buat kenyataan daripada semasa ke semasa, bagaimana mekanisme yang digunakan sekarang masih lagi berkaitan dengan— terutama sekali, prasyarat dan juga kelayakan yang utama. Kita tidak katakan bahawa memberi pengiktirafan sepenuhnya. Hanya ada satu sistem tunggal UEC sahaja yang diperlukan. Sebaliknya, perlu berlandaskan kepada sistem pendidikan yang sedia ada dalam negara, bukannya sistem lain.
Dan kemasukan ke universiti ini memang tidak pernah orang kata, hanya berdasarkan kepada apa yang disebut oleh Arau.
Tuan Adam Adli Abd Halim
Sebaliknya kita ada syarat dan merit kelayakan yang ketat. Sama juga macam tuduhan contohnya pintu belakang dan sebagainya, sama. Tak pernah lagi sebenarnya kita buka pintu kepada universiti ini hanya berdasarkan kepada— I don’t know. Sentimen politik, selera masing-masing dan sebagainya. Sebaliknya ada syarat-syarat dan juga merit kelayakan yang perlu dipatuhi, terutama sekali yang berlandaskan sistem pendidikan kita. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Betong.
Tuan Zulkifli bin Ismail - Jasin
Puan Yang di-Pertua, soalan tambahan.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Betong.
Dr. Richard Rapu @ Aman anak Begri - Betong
Terima kasih, Yang di- Pertua. Berhubung dengan isu graduan yang masih bekerja di bawah tahap kelayakan akademik. Dan saya ingin bertanya kepada Timbalan Menteri, adakah kementerian bersedia mengkaji semula kuota pengambilan pelajar di program- program tertentu di IPT, baik IPTA ataupun IPTS yang tiap-tiap tahun secara konsistennya menghasilkan graduan-graduan yang gagal diserapkan kepada pasaran kerja pada tahap kelayakan yang penuh atau adakah kementerian terus membiarkan situasi ini berlanjutan tanpa sebarang intervensi dasar yang bermakna?
Mohon penjelasan, terima kasih.
Tuan Adam Adli Abd Halim
Terima kasih, Yang Berhormat. Seperti yang kita sebut tadi, memang sekarang kita sedang pastikan terutama sekali selepas kita lancarkan RPTM – Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia. Kita pastikan ada penjajaran semula program-program yang ditawarkan di universiti awam dan juga sebenarnya kerjasama dengan IPTS agar ia nya selari dengan kehendak pasaran pekerjaan di samping dalam masa yang sama turut mengekalkan universiti sebagai tempat untuk mencari ilmu.
Kalau kita lihat berdasarkan kepada keperluan ekonomi sekarang, banyak bidang-bidang kritikal baharu mula diperkenalkan dan juga bidang-bidang lama yang mungkin sudah pun kita kenal pasti sebagai bidang yang tidak menyediakan ataupun tidak lagi sesuai dengan peredaran sekarang, kita cuba untuk kurangkan. Itu sebab di bawah kerangka yang ada sekarang, kursus-kursus baharu yang diperkenalkan selaras dengan keperluan industri.
Antara lainnya apa? Kecerdasan buatan. Ini ditawarkan di empat universiti awam. Kemudian, Sains Data dan Analitik, tiga universiti awam. Keselamatan Siber, dua universiti— tiga universiti. Semikonduktor, mikroelektronik, tiga universiti.
Robotik, tiga universiti. Ini antara contoh untuk kita lihat gerak kerja yang telah pun kita mulakan sekarang agar kita boleh pastikan bahawa kita tidak lagi boleh— kita tidak lagi menanggung angka seperti yang kita bincangkan tadi.
Dan seperti yang disebut juga, walaupun ada cabaran yang masih kita perlu hadapi, namun trendnya adalah menurun. Ia nya bukan memburuk. Jadi, itu adalah salah satu yang kita harapkan dapat kita lihat perkembangan yang lebih positif di masa hadapan dengan banyak lagi universiti-universiti baharu yang boleh dibuka dan lapangan-lapangan pekerjaan yang boleh kita teroka. Terima kasih.
Tuan Ahmad Tarmizi bin Sulaiman - Sik
Tuan Speaker, mohon satu soalan tambahan.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Saya jemput Puan Rodiyah binti Sapiee, Batang Sadong.
Puan Rodiyah binti Sapiee - Batang Sadong
Terima kasih, Puan Speaker.
Soalan Batang Sadong nombor 8.
8. Puan Rodiyah binti Sapiee [Batang Sadong] minta Menteri Perladangan dan Komoditi menyatakan apakah strategi kerajaan untuk memanfaatkan permintaan global terhadap bahan api rendah karbon bagi meningkatkan eksport produk biodiesel dan produk hiliran sawit bernilai tinggi dari Malaysia.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi - Dato’ Sri Huang Tiong Sii
Terima kasih, Tuan Yang di-Pertua dan terima kasih Yang Berhormat Batang Sadong. Saya mohon izin Tuan Yang di-Pertua dan untuk Dewan mulia ini mengalu- alukan kedatangan rombongan diketuai oleh Encik Stephen Wong, Pengerusi Majlis Daerah Sarikei serta ahli-ahli Majlis Daerah Sarikei.
[Tepuk] Terima kasih, Tuan Yang di-Pertua. Peralihan global ke arah ekonomi rendah karbon serta peningkatan permintaan terhadap bahan api yang lebih lestari telah membuka peluang baharu kepada Malaysia untuk memperkukuh kedudukan sebagai pengeluar utama biodiesel sawit dan produk hiliran yang berasaskan sawit yang bernilai tinggi. Bagi memanfaatkan peluang tersebut, Kementerian Perladangan dan Komoditi telah merangka strategi serampang dua mata di bawah Dasar Agrikomoditi Negara 2030 (DAKN 2030) iaitu memperkukuh pasaran sedia ada dan meneroka sumber alternatif yang lebih lestari.
Untuk maklumat Ahli Yang Berhormat, statistik eksport biodiesel negara menunjukkan trend peningkatan bermula pada tahun 2024. Peningkatan ini disumbangkan oleh pertumbuhan eksport kedua-dua jenis biodiesel yang dihasilkan di Malaysia iaitu Metil Ester Sawit, Palm Methyl Ester (PME) dan Metil Ester Minyak Masak Terpakai, Used Cooking Oil Methyl Ester (UCOME) selaras dengan permintaan yang semakin meningkat terhadap bahan api alternatif dan produk rendah karbon di pasaran antarabangsa.
Walau bagaimanapun, prestasi eksport biodiesel negara adalah tertakluk kepada jurang harga antara biodiesel sawit dan diesel petroleum di mana harga diesel petroleum yang lebih rendah berbanding biodiesel sawit boleh mengurangkan permintaan terhadap biodiesel serta menjejaskan jumlah eksport.
Kerajaan sedang giat melaksanakan strategi pembangunan biodiesel generasi kedua berasaskan sumber bahan mentah daripada sisa. Langkah-langkah strategik yang sedang dilaksanakan termasuklah pertama, pengoptimuman sisa biojisim tempatan dengan memanfaatkan sisa industri sawit seperti minyak efluen kilang kelapa sawit (POME) dan minyak masak terpakai sebagai bahan mentah utama pengeluaran bio bahan api yang bebas daripada risiko sekatan European Union Deforestation Regulation (EUDR).
Kementerian dengan kerjasama PETRONAS terus melaksanakan program pengumpulan minyak masak terpakai bagi memperluas sumber bahan mentah bio bahan api serta menggalakkan pengurusan sisa yang lebih mampan dan mesra alam.
Kedua, meningkatkan kerjasama dengan Lembaga Minyak Sawit Malaysia
(MPOB) dan pemain industri bagi mempercepatkan penyelidikan, pembangunan dan pengkomersialan teknologi penulenan sisa kepada bahan api seperti Minyak Sayuran Terhidro, Hydrotreated Vegetable Oil (HVO) dan Bahan Api Penerbangan Mampan, Sustainable Aviation Fuel (SAF). Pada masa yang sama, kerajaan melalui Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) akan terus memperkukuh akses pasaran eksport biodiesel konvensional sedia ada.
Usaha ini dilaksanakan melalui program promosi perdagangan, misi pembangunan pasaran dan aktiviti pemadanan perniagaan yang disasarkan kepada pasaran berpotensi tinggi yang mempunyai permintaan yang besar seperti China, India, Jepun, Korea Selatan serta negara-negara Timur Tengah.
Di samping itu, kerajaan akan terus memperkasakan pematuhan dan pengiktirafan Skim Pensijilan Minyak Sawit Malaysia (MSPO) di peringkat global ini bagi membuktikan komitmen tidak berbelah bahagi negara terhadap pematuhan aspek kemampanan dan kebolehkesanan di sepanjang rantaian bekalan industri sawit negara.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Batang Sadong.
Puan Rodiyah binti Sapiee - Batang Sadong
Terima kasih, Timbalan Menteri atas jawapan yang diberikan. Selamat datai orang Sarikei ke Dewan Rakyat.
Pelaksanaan program biodiesel B15 sememangnya merupakan langkah penting bagi meningkatkan penggunaan minyak sawit tempatan serta menyokong agenda peralihan tenaga negara. Namun, terdapat kebimbangan mengenai kesannya terhadap bekalan minyak sawit untuk kegunaan domestik.
Memandangkan pelaksanaan biodiesel B15 memerlukan tambahan penggunaan minyak sawit domestik, soalan Batang Sadong ialah yang pertama, adakah pelaksanaan B15 ini akan menjejaskan ataupun memberi impak yang negatif terhadap bekalan minyak masak dalam negara? Dan yang kedua, apakah strategi ataupun langkah kerajaan bagi memastikan bekalan serta tenaga— serta harga minyak sawit kekal stabil dan sekiranya permintaan minyak sawit bagi sektor biodiesel ini meningkat pada masa hadapan? Terima kasih.
Dato’ Sri Huang Tiong Sii
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua dan terima kasih Yang Berhormat Batang Sadong. Ini dua-dua cuma datang, sama datang di Sarawak lah.
KPK amat prihatin terhadap aspek keselamatan makanan negara dan akan memastikan peningkatan adunan biodiesel kepada B15, tidak menjejaskan bekalan minyak sawit bagi sektor makanan dan produk pengguna.
Tuan Mohd Azizi bin Abu Naim - Gua Musang
[Bangun]
Dato’ Sri Huang Tiong Sii
Berdasarkan penilaian semasa tambahan, penggunaan minyak sawit bagi pelaksanaan B15 masih berada pada tahap yang terkawal dan dijangka tidak menjejaskan kestabilan bekalan domestik.
Tuan Haji Bakri bin Jamaluddin - Tangga Batu
[Bangun]
Dato’ Sri Huang Tiong Sii
Berdasarkan dasar imbangan bekalan minyak sawit tahun 2025, negara mempunyai asas bekalan yang amat kukuh melalui stok awal, 1.71 juta tan. Pengeluaran 20.28 juta tan dan import, 0.77 juta tan. Jaminan bekalan yang besar ini bukan sahaja mampu memenuhi eksport global, 15.27 juta tan. Malah berupaya menyokong penggunaan dalam negara, 4.43 juta tan bagi pelbagai sektor tempatan.
Pasaran domestik juga berada pada tahap yang selamat dan merekodkan stok akhir yang tinggi iaitu sebanyak 3.05 juta tan. Peningkatan adunan biodiesel kepada B15 dianggarkan memerlukan tambahan minyak sawit sebanyak 330,000 tan setahun. Jumlah ini hanya mewakili sekitar 1.5 peratus daripada jumlah keseluruhan bekalan minyak sawit negara. Sekali gus, memberi jaminan bahawa pelaksanaan B15 tidak akan menjejaskan atau mengurangkan peruntukan import bagi industri makanan dan barangan penggunaan tempatan serta eksport sedia ada.
Kerajaan sentiasa bekerjasama dengan industri sawit bagi memastikan bekalan minyak sawit mentah (CPO) negara kekal mencukupi untuk memenuhi keperluan domestik, termasuk bagi kegunaan makanan industri hiliran. Pada masa yang sama, kerajaan komited dalam memastikan harga minyak masak kekal stabil dan berpatutan melalui pelbagai mekanisme kawal selia.
Kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melaksanakan pemantauan berterusan terhadap rantaian pengedaran dan penjualan minyak masak bagi membendung aktiviti penyelewengan, penyeludupan dan penyorokan bekalan, sekali gus menjamin bekalan yang mencukupi serta melindungi kepentingan pengguna. Sekian, terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Yang Berhormat, sekarang tamatlah sesi untuk waktu pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan.
Tuan Mohd Azizi bin Abu Naim - Gua Musang
Tak bagi terus ya.
Tuan Haji Bakri bin Jamaluddin - Tangga Batu
Soalan tambahan, tak ada ya?
[Sesi Pertanyaan-pertanyaan bagi Jawab Lisan tamat]
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) - Tuan M. Kulasegaran a/l V. Murugeson
Datuk Yang di- Pertua, “Mengikut Peraturan Mesyuarat 12(1), saya mohon mencadangkan bahawa Mesyuarat pada hari ini tidak akan ditangguhkan sehingga selesai penerangan mengenai penyata daripada Pengerusi Jawatankuasa Pilihan dan selesai dibahas dan diputuskan Rang Undang-undang Penjara (Pindaan) 2026 seperti di nombor 1 dan 2 dalam Aturan Urusan Mesyuarat dan Usul-usul hari ini. Selepas itu Majlis Mesyuarat akan ditangguhkan sehingga jam 10 pagi hari Isnin, 29 Jun 2026.” Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Ada sesiapa yang menyokong?
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi - Dato’ Sri Huang Tiong Sii
Saya mohon menyokong.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Ahli-ahli Yang Berhormat, sekarang saya kemukakan masalah kepada Majlis untuk diputuskan.
Masalahnya ialah usul seperti yang dikemukakan tadi hendaklah disetujukan.
[Usul dikemukakan bagi diputuskan; dan disetujukan]
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Yang Berhormat Kapar, Ahli Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) akan memberi penerangan berkenaan Penyata PAC Berhubung Peningkatan Bayaran Premium Insurans Kesihatan, Caj Hospital Swasta dan Impak Kepada Kesihatan Awam di bawah Kementerian Kewangan, Kementerian Kesihatan dan Bank Negara Malaysia.
[Tepuk] 15 minit.
Dr. Hajah Halimah Ali - Kapar
Terima kasih kepada Yang di-Pertua.
Bismillahirrahmanirrahim. Allahumma sholli ala Sayyidina Muhammad wa ala ali Sayyidina Muhammad. Saya mewakili pengerusi dan Ahli Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Parlimen Ke-15 untuk menerangkan penyata yang comel dan compact dan nipis ini yang sengaja dipadatkan hanya kepada tiga muka surat yang mengandungi, insya-Allah dan sepatutnya Ahli Yang Berhormat tidak ada masalah untuk membaca dan menelitinya.
[Sambil menunjukkan senaskhah dokumen] Daripada ini asalnya, 320 muka surat. Bayangkan kalau kita nak cetak, PAC nak cetak untuk 222 salinan. Bayangkan. Jadi, Menteri Kewangan mesti bersetuju dengan PAC, insya-Allah.
Nak sihat, sanggup labur hasil keringat. Bila tak sihat dan minta dirawat, tiba- tiba panik dan jadi lagi tenat kerana insurans tak nak bayar segala ubat, alat, jururawat dan segalanya yang diperlukan untuk pulih sihat. Maka PAC, bantu rakyat supaya biar berbaloi dan ROI dapat setelah bayar premium insurans berdekad- dekad. Inilah hasil penyata prosiding PAC. Semoga bermanfaat.
Tuan Yang di-Pertua, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) telah membentangkan Laporan PAC Parlimen Berhubung Isu Peningkatan Bayaran Premium Insurans Kesihatan, Caj Hospital Swasta dan Impak Kepada Kesihatan Awam di bawah Kementerian Kewangan (MOF), Kementerian Kesihatan Malaysia
(KKM) dan Bank Negara Malaysia (BNM) DR.12 2026 di Dewan Rakyat pada 24 Jun 2026.
Untuk makluman Dewan yang mulia ini, penyata ini merupakan penyata PAC Parlimen Ke-15 yang dihasilkan melalui punca kuasa di bawah Peraturan Mesyuarat 77(1)(d) iaitu isu yang bukan di bawah Laporan Ketua Audit Negara. Sebaliknya, apa-apa perkara lain yang difikirkan oleh jawatankuasa itu, patut diperiksa atau apa- apa perkara yang diserahkan oleh Majlis kepada jawatankuasa itu.
Isu ini dicetuskan oleh kebimbangan awam yang amat ketara terhadap kenaikan kos penjagaan kesihatan dan kemampuan rakyat untuk mengekalkan perlindungan insurans. Sehubungan itu, PAC telah mengadakan sesi pendengaran awam di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur pada 14 Februari 2025 dan 21 Februari 2025 yang saya moderator kan di Parlimen ini sendiri.
Sebanyak 19 prosiding berhubung isu ini telah diadakan bermula pada tarikh 24 Februari 2025 hingga 14 Ogos 2025. Dan PAC telah mengambil masa selama empat hari bagi tujuan memuktamadkan penyata berkenaan. Seramai 21 saksi telah dipanggil untuk memberi keterangan seperti MOF, KKM, Bank Negara Malaysia, Persatuan Hospital Swasta, NGO, wakil akademik dan industri insurans dan takaful – LIAM, PIAM, MTA.
Peningkatan yang ketara dalam bil hospital dan premium insurans di Malaysia telah menjadi isu yang semakin membimbangkan. Mencetus pelbagai perbincangan di media sosial, laporan media dan kenyataan rasmi. Isu ini memberi kesan langsung kepada beban kewangan rakyat. Di samping menimbulkan kebimbangan mengenai kebolehcapaian penjagaan kesihatan yang berkualiti.
Pada Disember 2024, Bank Negara Malaysia telah membuat pengumuman penting mengenai langkah-langkah interim untuk menangani isu peningkatan Premium Insurans dan Takaful Perubatan dan Kesihatan (MHIT) di Malaysia seperti berikut.
Pertama, pelarasan premium secara berperingkat (staggered premium adjustment). Penangguhan pelarasan premium untuk warga emas untuk tempoh satu tahun, senior support.
Dr. Hajah Halimah Ali - Kapar
Pilihan pengembalian polisi tanpa underwriting tambahan (policy reinstatement option) dan penawaran pelan insurans alternatif yang mampu milik of more affordable plans. Kelapan, walau bagaimanapun langkah-langkah ini adalah bersifat interim dan sementara yang antara lain bertujuan untuk mengurangkan beban segera, memberi masa untuk pembaharuan jangka panjang, memberi masa untuk kerajaan dan pihak berkepentingan lain seperti KKM, MOF, hospital swasta dan lain-lain agensi untuk melaksanakan pembaharuan kesihatan yang lebih meluas dan mampan dan memastikan kelangsungan perlindungan.
Puan Yang di-Pertua, melalui prosiding komprehensif ini penemuan PAC telah dikelompokkan mengikut struktur isu sistemik berikut.
Pertama, struktur sistem insurans dan peningkatan premium. Kerapuhan risiko (risk selection) konsep insurans swasta sedia ada di Malaysia terdedah kepada amalan pemilihan risiko dan gagal berfungsi sebagai jaringan keselamatan sosial jangka panjang kerana meminggirkan golongan rentan melalui mekanisme harga.
Ketidakadilan close pool. Terdapat amalan menutup kumpulan risiko lama atau close pool untuk menawarkan harga murah kepada peserta baharu. Amalan ini menghukum peserta setia yang lama kerana apabila kumpulan mengecil dan hanya tinggal peserta sakit, kadar tuntutan melonjak lalu memaksa kenaikan premium secara mendadak.
Kejutan kewangan multi tahun. Polisi berkaitan pelaburan memindahkan risiko kenaikan cost of insurance (COI) mengikut usia sepenuhnya kepada pengguna. Model penetapan harga berkala (cycle pricing) pula mencetuskan kejutan kewangan dengan kenaikan premium sekali gus mencecah 40 peratus hingga 70 peratus.
Kedua, struktur kos hospital swasta dan mekanisme pengambilan bil, billing. Ketidaktelusan subsidi silang. Struktur pengambilan hospital swasta kurang ideal dan gagal mencerminkan kos sebenar. Caj item ubat-ubatan dan bekalan perubatan di- mark up ataupun tambahan margin keuntungan tinggi kadangkala sehingga 300 peratus bagi menampung kos operasi wajib yang tidak dicaj atau disubsidi seperti caj wad, ICU dan penyediaan jabatan kecemasan 24 jam termasuklah ambulans. Caj berasingan (unbundling) dan diskriminasi harga.
PAC menemui amalan memecahkan caj atau unbundling bagi item asas seperti pelupusan sisa klinikal, sarung bantal dan alkohol swap yang sepatutnya termasuk dalam caj bilik. Wujud juga diskriminasi harga di mana pesakit yang menggunakan surat jaminan atau GL dikenakan caj, kadar caj yang lebih tinggi berbanding pesakit tunai atau pay and claim. Ketiga, inflasi perubatan dan jurang regulatory gap. Punca utama inflasi, faktor utama inflasi bukanlah yuran profesional doktor yang telah dikawal ketat di bawah Akta 586 sejak tahun 2013 tetapi lonjakan komponen caj bukan profesional hospital swasta bekalan, peralatan, ubat-ubatan, ujian makmal dan teknologi mewah yang tidak tertakluk kepada sebarang kawal selia.
Monopoli pasaran ubat. Sektor swasta dikuasai oleh 94 peratus ubat import.
Terdapat lebih 1,500 lebih jenis ubat yang hanya mempunyai satu pengeluar berdaftar di Malaysia sekali gus mewujudkan monopoli menetapkan harga tinggi tanpa persaingan. Penguatkuasaan paparan harga ubat runcit di bawah Akta 723 baru bermula pada 1 Mei 2025.
Keempat, reformasi sistemik RESET. Ini RESET kesihatan. DRG, rakan KKM dan hospital bukan untung. Inisiatif RESET dan DRG, kerangka pembaharuan RESET ada 11 inisiatif dan pelaksanaan sistem Diagnosis Related Group (DRG) secara berfasa dari 2026 dilihat mampu mengalihkan modal keuntungan prosedur kepada kecekapan klinikal namun ia memerlukan pangkalan data bersepadu dan rekod perubatan elektronik kebangsaan.
Model alternatif mampu milik, model hospital bukan berasaskan keuntungan seperti Hospital Tung Shin terbukti mampan menyediakan rawatan berkualiti pada kos asal tanpa motif untung, tetapi memerlukan sokongan pengecualian cukai yang konsisten. Program rakan KKM juga diluncurkan sebagai pilihan ekonomi premium untuk golongan M40 melalui model subsidi silang bagi membantu pesakit B40.
Kelima, kesan domino kepada sektor kesihatan awam. Kurang kesedaran pencegahan. Majoriti rakyat Malaysia dapati kurang kesedaran untuk melakukan saringan kesihatan awal yang menyumbang kepada pengesanan penyakit di peringkat lewat serta meningkatkan tuntutan kos rawatan akhir yang jauh lebih mahal.
Kedua, kesesakan hospital kerajaan memuncak. Kegagalan rakyat mengekalkan perlindungan insurans swasta akibat premium terlalu tinggi mencetuskan perpindahan pesakit secara besar-besaran ke fasiliti kesihatan kerajaan. Tekanan operational negara. Limpahan pesakit ini memanjangkan tempoh menunggu rawatan sekali gus memberi tekanan fiskal serta operational yang amat kritikal kepada sistem kesihatan awam negara. Hasil daripada prosiding yang diadakan PAC mendapat 20 rumusan iaitu:
Pertama, BNM Bank Negara beroperasi mengikut mandat menggalakkan kestabilan dan kemampanan sektor insurans dan takaful bagi melindungi kepentingan pemegang polisi. Walaupun mempunyai kuasa punitif ia bersifat reaktif dan BNM tidak mempunyai instrumen undang-undang untuk mengawal punca luaran kenaikan premium iaitu kos rawatan di hospital swasta.
Kedua, konsep insurans sedia ada di Malaysia terdedah kepada amalan pemilihan risiko (risk selection) strategi segregasi risiko oleh syarikat insurans menyebabkan golongan yang paling memerlukan perlindungan sering dipinggirkan melalui mekanisme harga.
Ketiga, terdapat amalan menutup kumpulan risiko lama (close pool) untuk menawarkan harga kompetitif kepada peserta baharu. Polisi insurans berkaitan pelaburan memindahkan sebahagian risiko pelaburan dan kenaikan kos perubatan kepada pengguna. Ramai pengguna tidak menyedari bahawa cost of insurance
(COI) akan meningkat mengikut usia yang menjejaskan kelestarian perlindungan jangka panjang.
Model penetapan harga berkala cyclical recycling oleh industri yang bertujuan menyelaraskan harga premium sering mencetuskan kejutan kewangan kepada pengguna dengan kenaikan sekali gus mencecah 40 hingga 70 peratus. Kenaikan harga premium yang tinggi mengakibatkan terdapat segolongan pemegang polisi yang berusia 60 tahun ke atas terpaksa membatalkan polisi insurans mereka akibat faktor ketidakmampuan kewangan sekali gus mendedahkan mereka kepada risiko tanpa perlindungan pada waktu ia amat diperlukan. Nampaknya kena bagi masa sikitlah Speaker.
Mekanisme pasaran bebas tidak dapat mengekalkan harga premium yang stabil dan konsisten kerana inflasi perubatan secara berterusan melebihi inflasi umum. Kenaikan premium berkait rapat dengan peningkatan kos rawatan kesihatan yang memerlukan pendekatan menyeluruh merangkumi sektor kesihatan dan bukan sektor insurans semata-mata.
Lapan, ketiadaan struktur pengambilan hospital swasta yang standard ketika ini menyebabkan kos sebenar perkhidmatan dan item-item asas tidak dapat dicerminkan secara telus.
Kesembilan, terdapat amalan memecahkan caj unbundling bagi item asas seperti pelupusan sisa klinikal dan seperti yang saya sebutkan tadi yang sepatutnya termasuk dalam caj bilik atau perkhidmatan asas.
Ke-10, wujud amalan diskriminasi harga di mana hospital mengenakan kadar caj yang lebih tinggi kepada pesakit yang menggunakan GL, surat jaminan berbanding tunai dan atau pay and claim. Ke-11, faktor utama inflasi bukanlah yuran profesional doktor yang telah dikawal tetapi lonjakkan caj komponen bukan profesional termasuk bekalan dan peralatan ubat-ubatan, peningkatan harga ubatan caj ujian diagnostik dan makmal, penggunaan teknologi dan rawatan yang lebih mahal, kos operasi hospital swasta yang semakin meningkat seperti tenaga kerja, utiliti dan teknologi.
Dr. Hajah Halimah Ali - Kapar
Dalam masa yang sama kos litigasi dan rawatan defensif juga semakin memberi tekanan. RESET merupakan pelan komprehensif 11 inisiatif yang merangkumi ketelusan harga transformasi insurans, pemantapan sistem digital dan pelaksanaan pelan asas MHIT. Namun, kejayaannya bergantung kepada penyelarasan dasar dan kerjasama merentas agensi jika kerjasama industri tidak mencukupi.
DRG ialah satu kaedah untuk menentukan bayaran rawatan kesihatan berdasarkan jenis penyakit atau keadaan pesakit dan bukannya berdasarkan setiap ujian, setiap ubat atau prosedur yang dilakukan satu per satu. Pelaksanaan DRG antara lain dilihat mampu mengalihkan modal berasaskan keuntungan prosedur kepada kecekapan klinikal.
Walau bagaimanapun, ia perlu memenuhi beberapa prasyarat terlebih dahulu termasuk pangkalan data yang lengkap dan sistem rekod perubatan elektronik yang bersepadu. Wujud mark-up median yang sangat tinggi pada pelbagai peringkat rantaian bekalan ubat di mana ubat genetik di hospital kadangkala di cas lebih mahal daripada ubat berjenama atau innovator.
Wujud persepsi negatif terhadap kebebasan ombudsman perkhidmatan kewangan FMOS kerana model pembiayaannya datang daripada industri insurans sendiri. Minta sikit lagi Speaker ya. Sebab ini penting. Kegagalan Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 [Akta 586] berkembang mengikut peredaran zaman. Membolehkan hospital mengenakan caj kreatif yang sah di sisi undang-undang tetapi membebankan rakyat secara moral dan ekonomi.
Data menunjukkan bahawa kebanyakan rakyat Malaysia kurang kesedaran dan minat untuk melakukan saringan kesihatan dan seterusnya menyumbang kepada peningkatan tuntutan rawatan serta kelewatan rawatan yang lazimnya lebih mahal. Berlakunya kesan domino terhadap sektor kesihatan awam di mana kegagalan rakyat untuk mengamalkan gaya hidup sihat selain kemampuan untuk terus mengekalkan perlindungan insurans swasta telah menyumbang kepada peningkatan pesakit di hospital kerajaan.
Sebagai langkah penambahbaikan— ini syor. Nak habis dah, Speaker. PAC Parlimen mengesyorkan 17 perkara untuk dilaksana oleh kerjaan, terutamanya MOF, Bank Negara Malaysia dan KKM sebagai kementerian agensi bertanggungjawab berhubung isu ini iaitu pertama, Bank Negara Malaysia diminta untuk menambah baik keperluan untuk mengukuh pengumpulan risiko merentas kumpulan, kohort yang serupa termasuk portfolio tertutup dan mengesyorkan agar keberkesanannya terus dipantau.
Kedua, BNM harus mengeluarkan garis panduan operasi yang lebih terperinci dan seragam, standardize FAQ bagi mengelakkan syarikat insurans memanipulasi tafsiran langkah-langkah interim. Ketiga, bagi menjamin keberkesanan intervensi kerajaan, BNM perlu mengenakan tindakan punitive yang tegas ke atas mana-mana pengendali insurans yang dikesan memanipulasi tafsiran atau gagal mematuhi langkah interim sehingga menjejaskan kebajikan dan kepentingan pemegang polisi.
Keempat, BNM perlu memastikan industri insurans dan takaful perlu beralih kepada pelarasan premium tahunan yang lebih kecil dan stabil. Incremental annual repricing untuk mengelakkan kejutan kenaikan yang besar terhadap pemegang polisi. Kelima, BNM harus mengkaji semula penetapan premium mengikut kumpulan atau kohort dan mempertimbangkan pendekatan yang bersesuaian dan mengkaliberasi dengan teliti bagi memperkukuh keadilan dalam perkongsian risiko sambil mengekalkan kemampuan serta kemampanan jangka panjang.
Keenam, Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) perlu memberi panduan kepada pihak yang berkepentingan supaya amalan rundingan diskaun antara pihak hospital dan insurans bagi memastikan proses tersebut adil dan tidak menjejaskan akses pesakit. KKM perlu memastikan pelaksanaan sistem DRG sektor swasta disegerakan untuk menggalakkan kecekapan kos.
Kelapan, KKM hendaklah memastikan pindaan Akta 586 dilaksanakan bagi memberi kuasa kepada KKM mengawal selia caj perkhidmatan hospital swasta selain yuran doktor. Kesembilan, KKM dan BNM hendaklah memperkasakan saluran mekanisme penyelesaian aduan bagi isu insurans dan kos perubatan supaya dapat diselesaikan dengan efisien dan berkesan.
Ke-10, KKM dengan kerjasama KPDN perlu menetapkan mekanisme pengawalan harga bagi ubat-ubatan dan peralatan perubatan agar kekal munasabah untuk mengelakkan tiada pihak yang mengambil keuntungan berlebihan. Ke-11, KKM perlu meneroka sumber bekalan daripada pengeluar secara terus, outsourcing dengan mengutamakan pengeluar tempatan bagi mengurangkan kebergantungan kepada dominasi pembekal atau kartel tertentu.
Ke-12, MOF, BNM dan KKM perlu mewujudkan tadbir urus yang baharu dan bebas untuk penjagaan kesihatan swasta bagi melindungi pengguna termasuklah untuk menyemak dan mengawal selia caj dan manfaat insurans kesihatan. Ke-13, KKM perlu memperkasakan dan meneroka inisiatif-inisiatif yang meluaskan akses kepada perubatan mampu milik sekali gus bertindak sebagai penanda aras harga atau bench mark bagi industri kesihatan swasta.
Ke-14, MOF, BNM dan KKM hendaklah menyegerakan pelaksanaan sepenuhnya inisiatif RESET dan semua pihak berkepentingan perlu memberikan sokongan berterusan bagi memastikan kos rawatan di sektor swasta dan premium insurans dapat dikawal dalam jangka masa yang panjang. Ke-15, MOF, BNM dan KKM dan kerajaan secara keseluruhannya bersama industri insurans dan takaful serta industri perkhidmatan kesihatan perlu menggalakkan gaya hidup sihat dan penjagaan kesihatan pencegahan melalui insentif serta penawaran insurans dan takaful yang bersifat preventive. Ke-16, KKM hendaklah mempergiat kempen kesedaran awam dan pembudayaan gaya hidup sihat secara komprehensif. Dalam hal ini semua kementerian dan agensi kerajaan GLC dan institusi pendidikan di semua peringkat perlu diwajibkan untuk menggalakkan amalan kesihatan bagi mengurangkan risiko penyakit tidak berjangkit NCD, membendung inflasi kos perubatan serta mengatasi isu kesesakan pesakit yang kritikal di hospital-hospital kerajaan.
Akhirnya ke-17, MOF, BNM dan KKM perlu menetapkan satu garis masa pelaksanaan yang munasabah dan jelas bagi semua langkah inisiatif RESET dan memastikan semua persiapan dilaksanakan secara tersusun bagi menjamin kesan yang mampan dan berterusan. Terima kasih Speaker.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Terima kasih Yang Berhormat Kapar. Ahli-ahli Yang Berhormat, penerangan ini terbuka untuk ahli- ahli meminta penjelasan dan memberikan pandangan. Saya bacakan senarai pembahas. Yang Berhormat Tuaran, Yang Berhormat Kuala Langat, Yang Berhormat Pasir Gudang, Yang Berhormat Kuala Krai, Yang Berhormat Batu Gajah, Yang Berhormat Langkawi, Yang Berhormat Sungai Siput, Yang Berhormat Kuala Nerus, Yang Berhormat Batu, Yang Berhormat Tanjong Karang, Yang Berhormat Kampar dan Yang Berhormat Pasir Salak. Setiap pembahas diberi masa lima minit.
Saya jemput Yang Berhormat Tuaran.
Datuk Seri Panglima Madius bin Tangau - Tuaran
Terima kasih Puan Yang di-Pertua kerana memberi peluang kepada Tuaran untuk membahaskan Laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara berhubung peningkatan bayaran premium insurans kesihatan hospital swasta dan impak kepada kesihatan awam.
Saya bangun untuk mengambil bahagian dalam perbahasan penyata ini dan impaknya kepada sistem kesihatan awam negara.
Pertama sekali, saya ingin merakamkan penghargaan kepada jawatankuasa PAC yang telah menjalankan siasatan yang menyeluruh dengan memanggil pelbagai pihak berkepentingan termasuk Kementerian Kewangan, Kementerian Kesihatan Malaysia, Bank Negara Malaysia, industri insurans hospital swasta, persatuan perubatan dan badan pengguna.
Puan Yang di-Pertua, apa yang didedahkan oleh PAC sebenarnya amat membimbangkan. Masalah yang sedang kita hadapi hari ini bukan sekadar isu premium insurans yang naik atau caj hospital swasta yang mahal. Masalah yang sebenar ialah kos rawatan kesihatan di Malaysia semakin menjadi beban yang tidak mampu ditanggung oleh rakyat biasa. PAC mendapati terdapat kenaikan premium mendadak sehingga 40 peratus, 50 peratus malah dalam setengah kes melebihi 70 peratus.
Bayangkan seorang pesara yang telah mencarum membayar premium selama 20 atau 30 tahun. Apabila beliau memasuki usia emas dan paling memerlukan perlindungan kesihatan premium tiba-tiba meningkat ke tahap yang tidak lagi mampu dibayar.
Datuk Seri Panglima Madius bin Tangau - Tuaran
Akibatnya polisi terpaksa dibatalkan, ini bermakna rakyat membayar insurans ketika sihat tetapi kehilangan perlindungan apabila mereka sakit. Bukankah ini satu ironi yang gusar? Puan Yang di-Pertua, PAC juga mendedahkan bahawa antara faktor utama kenaikan premium ialah kenaikan kos rawatan hospital swasta yang tidak terkawal. Terdapat amalan mark-up yang tinggi dalam rantaian bekalan ubat- ubatan.
Terdapat juga amalan charge yang berbeza antara pesakit yang menggunakan surat jaminan insurans dengan pesakit yang membayar sendiri secara tunai. PAC menyebut bahawa fenomena creative charges atau charge kreatif, turut berlaku dalam sistem perkhidmatan kesihatan swasta. Ini adalah suatu yang tidak boleh dipandang ringan. Kesihatan bukan barang mewah, kesihatan bukan komoditi yang boleh diperdagangkan semata-mata untuk memaksimumkan keuntungan.
Kesihatan adalah keperluan asas manusia, apabila kos rawatan menjadi terlalu mahal, yang menjadi mangsa akhirnya ialah rakyat.
Puan Yang di-Pertua, sebagai Ahli Parlimen dari Sabah saya ingin membawa perhatian Dewan yang mulia ini, keberkesanan yang lebih serius di wilayah seperti Sabah dan Sarawak. Pendapatan purata rakyat yang masih, antara yang terendah di Malaysia. Ramai keluarga di Tuaran, Tamparuli, dan kawasan luar bandar, hidup dengan pendapatan yang sederhana.
Apabila premium insurans meningkat berpuluh-puluh peratus, ramai yang tidak mempunyai pilihan selain menghentikan perlindungan mereka. Apabila mereka sakit, mereka akan beralih kepada hospital kerajaan. PAC sendiri telah menyatakan bahawa peningkatan kos sektor swasta sedang menghasilkan kesan domino kepada sistem kesihatan awam.
Apabila lebih ramai pesakit meninggalkan sektor swasta, hospital kerajaan akan menjadi semakin sesak, tempoh menunggu akan menjadi lebih panjang, beban kerja doktor dan jururawat akan meningkat. Kualiti perkhidmatan akan terjejas dan akhirnya rakyat miskin, serta golongan pertengahan yang paling menderita.
Puan Yang di-Pertua, saya amat tertarik dengan penemuan PAC, bahawa doktor bukanlah punca utama inflasi kos kesihatan. Selama ini ramai pihak cuba meletakkan kesalahan kepada doktor. Namun PAC mendapati bahawa fi profesional doktor telah dikawal dan tidak meningkat secara luar biasa. Ini bermakna kita perlu melihat keseluruhan ekosistem kesihatan dan bukan mencari kambing hitam. Kita mesti berani menangani isu struktur yang menyebabkan kos rawatan terus melonjak.
Puan Yang di-Pertua, saya menyokong cadangan PAC supaya kerajaan memperkukuhkan pengawalseliaan harga ubat-ubatan, meningkatkan ketelusan dalam penetapan charge hospital swasta dan memastikan industri insurans lebih bertanggungjawab kepada pemegang polisi. Namun, saya ingin mengemukakan beberapa persoalan tambahan kepada kerajaan.
Pertama, berapakah bilangan doktor, jururawat dan kakitangan kesihatan lain yang masih berstatus kontrak dalam sistem kesihatan negara pada hari ini? Kedua, berapakah implikasi kewangan yang diperlukan sekiranya kerajaan mengambil langkah menyerap mereka ke jawatan tetap? Ketiga, berapakah jumlah hasil dikutip setiap tahun melalui yuran dan bayaran yang dikenakan di hospital dan klinik kerajaan dan sampai bilakah hasil seperti ini boleh bertahan dalam sistem kesihatan negara.? Keempat, berapakah bajet untuk gaji kakitangan kementerian dan jabatan kesihatan, pembelian ubat-ubatan, pembelian peranti dan peralatan? Maklumat ini penting kerana kita perlu memahami kedudukan sebenar kewangan sistem kesihatan negara sebelum sebarang pembaharuan besar dilaksanakan.
Puan Yang di-Pertua, saya ingin menegaskan bahawa penyelesaian kepada krisis ini tidak boleh hanya bergantung kepada kawalan premium insurans. Kerajaan perlu meningkatkan pelaburan dalam sistem kesihatan awam. Hospital baru perlu dibina, peralatan perlu dipertingkatkan, doktor, jururawat dan petugas kesihatan perlu diberikan laluan kerjaya yang lebih baik. Kita tidak boleh membiarkan sistem kesihatan awam menjadi jaring keselamatan terakhir yang semakin terbeban akibat kegagalan sistem kesihatan swasta dan insurans.
Puan Yang di-Pertua, kesihatan rakyat tidak boleh ditentukan oleh kemampuan mereka membayar premium. Kesihatan rakyat tidak boleh ditentukan oleh saiz akaun bank mereka dan kesihatan rakyat tidak boleh dikorbankan demi keuntungan mana-mana pihak. Laporan PAC ini, merupakan satu amaran yang jelas bahawa reformasi sektor kesihatan negara tidak boleh ditangguhkan lagi.
Jika kita gagal bertindak hari ini, kita akan berhadapan dengan keadaan di mana semakin ramai rakyat tidak mampu mendapatkan perlindungan insurans.
Semakin ramai pesakit memenuhi hospital kerajaan dan semakin besar tekanan kewangan ke atas negara.
Oleh itu, saya menyeru kerajaan supaya menerima dan melaksanakan syor- syor PAC dengan segera, menyeluruh dan berani dan demi memastikan setiap rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang atau tahap pendapatan. Mempunyai akses kepada rawatan kesihatan yang berkualiti, mampu bayar dan adil.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Terima kasih.
Datuk Seri Panglima Madius bin Tangau - Tuaran
Kesihatan bukan istimewa golongan berada, kesihatan adalah hak setiap rakyat Malaysia. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Terima kasih Yang Berhormat Tuaran. Ahli-ahli Yang Berhormat, saya menangguhkan mesyuarat sekarang dan akan bersambung pada jam 2.30 petang.
[Mesyuarat ditempohkan pada pukul 1.05 tengah hari]
[Mesyuarat disambung semula pada pukul 2.30 petang]
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
[Dato’ Sri Doris Sophia anak Brodi (Sri Aman) mempengerusikan
Mesyuarat] Dato’ Sri Doris Sophia anak Brodi - Sri Aman
Baiklah, kita teruskan dengan sesi membahaskan Penyata PAC iaitu berkenaan dengan peningkatan bayaran premium insurans kesihatan, caj hospital swasta dan impak kepada kesihatan awam. Saya ingin menjemput YB Kuala Langat. Silakan, Yang Berhormat.
Dato’ Dr. Ahmad Yunus bin Hairi - Kuala Langat
Terima kasih, Tuan Speaker. Bismillahirrahmanirrahim. Terima kasih di atas peluang untuk saya terlibat dalam perbahasan Penyata Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam DR.12 Tahun 2026.
Sedia maklum bahawa negara kita mempunyai dua sistem perkhidmatan kesihatan iaitu perkhidmatan kesihatan awam dan juga swasta, di mana kos pembiayaan kalau di peringkat perkhidmatan kesihatan awam adalah dibiayai sepenuhnya daripada kutipan cukai. Tahun 2025 memperuntukkan sejumlah RM54.27 bilion dibelanjakan. Dan daripada pihak perkhidmatan kesihatan swasta, sumbernya sebahagian besarnya daripada insurans kesihatan swasta dan juga perbelanjaan sendiri.
Jumlah pendapatan premium insurans kesihatan di Malaysia naik sebanyak tujuh peratus pada tahun 2025, secara tidak langsung menjadikan berada di bawah kategori pertumbuhan terpantas dalam pasaran insurans tempatan. Angka ini mencerminkan tahun di mana inflasi perubatan bergerak pada kadar 15 peratus iaitu jauh mengatasi purata global dan Asia Pasifik sebanyak 10 peratus.
Tempoh 2015 sehingga 2025, pendapatan premium insurans kesihatan berkembang pada purata 2.1 peratus setahun. Lonjakan tujuh peratus pada tahun 2025 menggambarkan perubahan drastik terhadap kos perubatan yang kian meningkat. Ini mendorong kepada syarikat insurans untuk menaikkan harga premium insurans kesihatan.
Kenaikan tujuh peratus dalam pendapatan premium insurans kesihatan berlaku dalam keadaan yang sukar kepada pengguna. Ramai pemegang insurans polisi sudah membatalkan insurans mereka kerana tidak berkemampuan untuk meneruskan pembiayaan dengan harga yang telah dinaikkan. Bank Negara Malaysia dan KKM atas usaha untuk mengambil tindakan mengurangkan kos kepada pengguna membuat beberapa pelaksanaan.
Satu, pelaksanaan sistem DRG, diagnosis-related group. Model bayaran hospital berkos tetap dibangunkan untuk mengawal kos penjagaan kesihatan swasta. Satu pelan insurans perubatan dan kos asas baharu premium bermula dengan RM80 hingga RM120. MHIT asas sedang dibangunkan sebagai projek rintis dan akan dilaksana pada tahun 2027.
Tahniah kepada Jawatankuasa PAC yang saya kira telah melibatkan 21 agensi dan 19 prosiding, lima penemuan PAC, 20 rumusan dan syor yang saya kira sangat signifikan dan saya ingat tidak perlu untuk saya sebutkan di sini. Cuma, apa yang hendak saya sentuh, antara kenaikan kos rawatan perubatan adalah berkaitan dengan kenaikan harga ubat-ubatan dan juga kos pembedahan yang menggunakan teknologi terkini walaupun fi profesional doktor dan pakar saya ingat dikawal oleh akta yang sedia ada.
Cuma, saya nak melihat juga sama ada di peringkat kerajaan juga melihat bagaimana kos-kos harga ubat yang mana pada baru-baru ini Yang Berhormat Menteri Kesihatan menyebutkan akan berlaku peningkatan kos harga ubat 30 hingga 40 peratus dan juga kos peranti kesihatan 100 peratus disebabkan apa yang berlaku di Asia Barat, peperangan di sana.
Saya melihat bahawa syor-syor yang tuntas. Cuma, saya hendak mengambil di sini mencadangkan tindakan bagi mengawal peningkatan premium insurans kesihatan ini. Boleh dibahagikan sama ada tindakan-tindakan yang perlu segera yang mungkin sederhana dan mungkin tidak yang panjang bagi masanya untuk melihat kesannya.
Pertamanya adalah berkaitan dengan libat urus semua stakeholder yang saya kira pemain utama secara berkala ataupun secara serius harus dibuat dengan bersungguh, sama ada daripada Bank Negara Malaysia, Kementerian Kesihatan, Kementerian Kewangan dan begitu juga dengan agensi-agensi yang lain.
Yang kedua adalah mekanisme atau pun memperkasakan kawalan daripada sudut undang-undang sama ada Akta Bank Negara 2009, Akta Insurans 1996, Akta Takaful 1984 harus dilihat, digubal dan dipinda untuk melindungi pengguna supaya akhirnya dapat menepati apa yang disarankan oleh PAC itu sendiri.
Saya melihat juga bagaimana Kementerian Kesihatan Malaysia melalui Akta 586 untuk dilihat dan juga dipinda untuk memberi...
Dato’ Sri Doris Sophia anak Brodi - Sri Aman
Sila gulung, Yang Berhormat. Rumuskan ya. Gulung.
Dato’ Dr. Ahmad Yunus bin Hairi - Kuala Langat
Alamak, ada lagi. Saya cuba cepatkan.
Dato’ Sri Doris Sophia anak Brodi - Sri Aman
Tolong.
Dato’ Dr. Ahmad Yunus bin Hairi - Kuala Langat
Memberikan kuasa kepada KKM mengawal selia caj perkhidmatan hospital swasta yang perlu diperbaiki.
Dan saya kira DRG swasta ini harus dilihat supaya ia dapat dilakukan dengan mengikut masa. Dan juga MHIT yang pada hari ini supaya, kalau pada hari ini dalam peringkat rintis dan dijangkakan pelaksanaan pada tahun hadapan, dapat dilakukan dengan sebaik mungkin.
Saya juga ingin menyentuh berkaitan dengan Rakan KKM yang sudah dimulakan. Walaupun asasnya adalah untuk memberikan sumbangan premium kepada penjawat awam yang bertugas, tetapi saya kira ini juga dapat memberikan ruangan kepada mereka-mereka yang mempunyai insurans yang boleh dilakukan melalui sayap hospital kerajaan, sayap swastanya, ia akan memberikan manfaat juga kepada pemegang-pemegang insurans ini.
Kemudian, untuk jangka panjangnya, saya masih lagi menekankan soal advokasi, pencegahan dan juga pendidikan, amalan gaya hidup sihat dan kempen kurangkan risiko penyakit NCD yang saya kira ia adalah satu perkara yang sangat penting. Dan juga peningkatan program kesihatan primer, primary healthcare, public- private partnership yang mana saya kira sudah dimulakan pada hari ini seperti program Skim Perubatan MADANI dan juga PeKa memberikan rawatan awal dan juga rawatan saringan yang saya kira dapat mengurangkan daripada kesan yang lebih teruk yang terpaksa dihadapi oleh pesakit dan mengorbankan jumlah kewangan yang besar.
Dato’ Sri Doris Sophia anak Brodi - Sri Aman
Cukup, Yang Berhormat.
Cukup.
Dato’ Dr. Ahmad Yunus bin Hairi - Kuala Langat
Okeylah. Terima kasih, Tuan Speaker.
Dato’ Sri Doris Sophia anak Brodi - Sri Aman
Terima kasih, Yang Berhormat. Kita teruskan menjemput Yang Berhormat Pasir Gudang. Silakan, Yang Berhormat.
Tuan Hassan bin Abdul Karim - Pasir Gudang
Terima kasih Puan Speaker. Assalamualaikum dan salam sejahtera.
Penyata Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara yang dibentangkan ini mengenai bayaran insurans kesihatan, caj hospital swasta dan impak kepada kesihatan awam.
Tuan Hassan bin Abdul Karim - Pasir Gudang
Skop yang dibincangkan di bawah tajuk penyata tersebut adalah sempit.
Hanya terhad kepada tiga perkara.
(i) bayaran insurans kesihatan,
(ii) berkenaan caj hospital swasta, dan;
(iii) impak kepada kesihatan awam.
Saya mohon Puan Speaker, membahaskan isu kesihatan awam lebih luas lagi.
Dato’ Sri Doris Sophia anak Brodi - Sri Aman
Silakan.
Tuan Hassan bin Abdul Karim - Pasir Gudang
Pertama, saya memandang serius cadangan pemotongan peruntukan Kementerian Kesihatan Malaysia sehingga RM4.65 bilion bagi tahun 2026. Walaupun Perdana Menteri menyatakan bahawa sektor kesihatan dan pendidikan tidak akan terjejas, tapi saya melihat pemotongan sebesar itu tetap menimbulkan kebimbangan terhadap masa depan sistem kesihatan awam yang sememangnya telah lama mengalami kekurangan dana, tenaga kerja, fasiliti dan peralatan asas, termasuklah Hospital Pasir Gudang yang baru beroperasi tapi tidak lengkap kerana kekurangan tenaga kerja, fasiliti dan pelbagai lagi. Jadi, saya bimbang jika ada pemotongan ini berlaku.
Yang kedua, saya percaya bahawa penjimatan yang dilakukan oleh kerajaan itu bagus tetapi berkenaan dengan kesihatan ini perlulah berhati-hati. Malaysia saya lihat masih membelanjakan jumlah yang rendah untuk kesihatan awam berbanding keperluan sebenar rakyat. Banyak pihak pengkaji berpendapat, telah mencadangkan agar peruntukan kesihatan awam ditingkatkan sekurang-kurangnya kepada lima peratus daripada KDNK negara.
Dalam hubungan ini, sebagai satu contoh, saya ambil berat tentang tindakan misalnya pengurangan peruntukan kepada hospital universiti. Misalnya kenaikan caj sehingga 233 peratus oleh Pusat Perubatan Universiti Malaya pada 1 Januari tahun lalu telah memberi tekanan besar kepada rakyat yang memerlukan rawatan kepada kos yang munasabah. Jadi, saya berpendapat kenaikan caj hospital universiti perlu dibekukan sehingga kerajaan mampu menyediakan alternatif hospital awam yang mencukupi di kawasan terlibat.
Perkara yang keempat, saya juga berpendapat kerajaan seharusnya mempertimbangkan peningkatan cukai terhadap hospital swasta yang meraih keuntungan besar daripada industri pelancongan perubatan. Misalnya, di Pulau Pinang sahaja merekodkan lebih 527,000 pesakit asing pada tahun 2025 dengan hasil melebihi RM1.1 bilion. Puan Speaker, ketika hospital kerajaan berdepan kekurangan dana dan kakitangan, sektor swasta pula terus menikmati keuntungan besar dan akhirnya ayat yang terakhir, Puan Speaker.
Langkah penjimatan negara mesti bermula daripada golongan atasan, politik dan elit ekonomi bukannya dengan mengurangkan peruntukan sektor awam seperti perkhidmatan kesihatan kepada rakyat. Saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara yang telah berjaya membentangkan penyata itu. Terima kasih, Puan Speaker.
Dato’ Sri Doris Sophia anak Brodi - Sri Aman
Terima kasih, Yang Berhormat. Seterusnya, saya ingin menjemput Yang Berhormat Kuala Krai. Silakan.
Tuan Haji Abdul Latiff bin Abdul Rahman - Kuala Krai
Terima kasih, Tuan Yang di-Pertua. Bismillahirrahmanirrahim. Terima kasih kerana memberikan kesempatan dan ruang kepada Kuala Krai untuk turut sama dalam perbahasan Penyata PAC berhubung Peningkatan Bayaran Premium Kesihatan, Caj Hospital Swasta dan Impak kepada Kesihatan Awam.
Tuan Yang di-Pertua, kita sering diberitahu bahawa isu ini cuma tentang premium insurans kesihatan yang naik tetapi berdasarkan Penyata PAC ini, gambaran sebenar jauh lebih parah iaitu ekosistem kesihatan swasta kita beroperasi tanpa ketulusan harga, tanpa standard pengebilan dan tanpa kuasa kawal selia yang mencukupi. Akibatnya, rakyat menanggung beban tiga serangkai iaitu hospital yang mengenakan caj kreatif, industri insurans yang mengalihkan risiko dan kerajaan yang ketinggalan daripada segi dasar.
PAC merekodkan pengakuan yang tidak boleh kita abaikan bahawa Bank Negara Malaysia mengawal industri insurans tetapi tidak mempunyai instrumen undang-undang untuk mengawal punca sebenar kenaikan premium kos rawatan hospital swasta. Maka, setiap kali premium melambung, jari telunjuk rakyat menghala kepada Bank Negara sedangkan pedang sebenar berada di tangan pihak yang Bank Negara tidak berkuasa kawal.
Ini bukan sekadar lompong peraturan tetapi ia adalah kegagalan seni bina tadbir urus. Dalam isu ketulusan harga hospital swasta, PAC mendedahkan amalan caj kreatif, bil tidak standard dan manipulasi harga ubat untuk menutup kos lain sehingga sarung bantal, alcohol swab dan pelupusan sisa klinikal pun diagih berasingan.
Lebih membimbangkan, wujud diskriminasi harga terhadap pesakit berinsurans. Mereka yang hadir dengan GL ataupun jaminan guarantee letter dikenakan kadar lebih tinggi berbanding pesakit tunai ataupun pay and claim. Ertinya, membeli perlindungan menjadi hukuman harga yang tinggi. Bagi amalan closed pool syarikat insurans menawarkan harga murah untuk pelanggan baharu menutup kumpulan lama yang meninggalkan pemegang polisi setia.
Mungkin dah bertahun-tahun dalam kolam kecil, yang makin tua dan sakit menyebabkan premium mereka melonjak mendadak. Sepatutnya lagi lama memegang polisi, lagi murah dikenakan caj. Kesan nyata seperti yang direkodkan oleh PAC bahawa warga emas terpaksa membatalkan polisi ketika saat paling memerlukan.
Apakah maknanya insurans jika pada usia risiko memuncak, perlindungan terlucut kerana tidak mampu membayar. Tuan Yang di-Pertua, dalam isu produk ILP ataupun polisi berkaitan pelaburan, risiko pasaran dan kenaikan kos insurans dipindahkan ke bahu pengguna yang kebanyakannya tidak memahami selok belok struktur yuran dan prestasi dana.
Kontrak yang kompleks ini tidak boleh menjadi tirai untuk memindahkan tanggungan secara senyap. Ketulusan bukan pilihan. Ia adalah kewajipan. Fakta yang sering disalah erti bahawa fi profesional doktor bukan punca utama inflasi perubatan. Fi dikawal dan hampir tidak berubah sejak 2013.
Punca sebenar datang daripada ubat, peralatan, makmal diagnostik, utiliti, kos operasi hospital dan sebagainya. Menyalahkan doktor mungkin popular tetapi ia tidak tepat dan tidak menyelesaikan masalah. Struktur pasaran ubat yang pincang, lebih daripada 1,500 jenis ubat hanya mempunyai satu pengeluar berdaftar mewujudkan kuasa monopoli yang mengekalkan harga tinggi. Bila rantaian bekalan disempitkan, pesakit membayar premium yang bukan sahaja wang tetapi juga peluang untuk hidup sihat.
Dalam isu model penetapan semula harga atau repricing yang naik secara melampau, kenaikan sekali gus 40 hingga 70 peratus, ini bukan inflasi biasa tetapi lebih kepada kejutan kewangan. Keluarga B40, keluarga M40 yang sudah dihempap kos sara hidup, sewa rumah dan insurans pendidikan ditambah beban premium yang tiba-tiba melompat setangga besar.
Tuan Yang di-Pertua, gelombang ketidakpuasaan ini telah lama bergema di media. Laporan-laporan mengenai bil-bil hospital, rungutan pesakit GL dicaj lebih mahal daripada pesakit tunai, rayuan warga emas yang membatalkan polisi kerana premium melonjak, semua ini bukan anekdot terpencil tetapi corak yang berulang.
Ketika wacana umum menyoal mengapa insurans makin mahal tetapi perlindungan makin mengecil, Penyata PAC memberi jawapan yang tidak selesa iaitu mekanisme pasaran bebas tanpa standard harga dan tanpa regulator berkuasa menyeluruh gagal mengekalkan premium yang stabil dan adil.
Akhirnya, saya ingin bertanya kepada tiga pihak iaitu pertama kepada Menteri Kesihatan. Berapa banyak hospital swasta telah dikenakan tindakan kerana mengenakan caj lebih tinggi kepada pesakit GL berbanding pesakit tunai?
Tuan Haji Abdul Latiff bin Abdul Rahman - Kuala Krai
Yang kedua, jika KKM sedia maklum Akta 586 ketinggalan, mengapa pindaan hanya bergerak selepas teguran PAC. Dan ketiga, bilakah draf pindaan Akta 586 akan dibentang di Dewan Rakyat dan apakah kerangka utamanya?
Soalan kedua kepada Kementerian Kewangan ialah pertama adakah MOF bersetuju mewujudkan badan kawal selia bebas merentas rantaian nilai yang boleh menetapkan standard pengambilan hospital, menilai justifikasi caj dan menyelaras permit insurans sebagaimana yang disyorkan oleh PAC?
Soalan kedua kepada Kementerian Kewangan, berapa ramai pemegang polisi 60 tahun ke atas membatalkan polisi dalam tiga tahun kebelakangan ini akibat kenaikan premium mengikut syarikat-syarikat dan jenis produk? Dan soalan terakhir kepada Bank Negara Malaysia ialah berapakah syarikat mengamalkan “close full” dan apakah parameter definisinya? Dan kedua, mengapa amalan ini dibiarkan sehingga pelanggan setia dihukum dengan premium yang lebih tinggi?
Dan soalan terakhir kepada Bank Negara, adakah Bank Negara akan mengharapkan “close full” dan mewajibkan risk pooling yang lebih luas serta koridor kenaikan premium berperingkat? Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Dato’ Sri Doris Sophia anak Brodi - Sri Aman
Terima kasih Yang Berhormat Kuala Krai. Seterusnya saya ingin menjemput Yang Berhormat Batu Gajah. Silakan Yang Berhormat.
Dr. Sivakumar a/l Varatharaju Naidu - Batu Gajah
Terima kasih Yang di- Pertua kerana memberi peluang kepada saya untuk turut serta dalam perbahasan Penyata Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara ini.
Penyata ini menyentuh isu yang semakin dekat dengan kehidupan rakyat iaitu peningkatan premium insurans kesihatan, caj hospital swasta dan kesannya terhadap sistem kesihatan awam negara.
Saya ingin merakamkan penghargaan kepada PAC atas laporan yang komprehensif dan tepat pada masanya dan meneliti isu yang semakin membimbangkan ini. Pada hemat saya, isu ini bukan sekadar soal premium, polisi insurans atau caj hospital, isu ini menyentuh keresahan sebenar rakyat apabila mereka jatuh sakit. Apabila seseorang jatuh sakit, perkara pertama yang sepatutnya difikirkan ialah rawatan dan kesembuhan.
Namun hari ini, semakin ramai rakyat terpaksa bertanya sama ada mereka mampu membayar bil rawatan, sama ada kad perubatan mereka mencukupi dan sama ada premium insurans mereka masih mampu diteruskan. Inilah paradoks yang sedang berlaku. Kita mahu lihat lebih ramai rakyat memiliki perlindungan insurans dan takaful kesihatan tetapi kos untuk mengekalkan perlindungan ini semakin sukar ditanggung.
Yang di-Pertua, dalam isu ini kita tidak wajar menuding jari kepada satu pihak semata-mata. Kenaikan premium insurans kesihatan, caj hospital swasta dan tekanan terhadap kesihatan awam merupakan isu ekosistem yang melibatkan hospital swasta, syarikat insurans, syarikat takaful, Kementerian Kesihatan, Kementerian Kewangan serta Bank Negara Malaysia.
Namun, perkara pokok yang perlu difahami ialah premium bukan punca sebenar. Premium hanyalah akibat daripada peningkatan kos rawatan, ubat-ubatan, peralatan, teknologi kesihatan dan prosedur hospital.
Apabila kos rawatan meningkat, tuntutan insurans turut meningkat. Apabila tuntutan meningkat, premium juga meningkat. Akhirnya, rakyat berhadapan kesukaran untuk mengekalkan perlindungan kesihatan mereka. Inilah kitaran yang perlu diputuskan sekiranya kita mahu memastikan perlindungan kesihatan kekal mampu dimiliki dan sistem kesihatan negara terus mampan.
Sebagai contoh, seorang pesakit kanser mungkin memerlukan rawatan kemoterapi, terapi sasaran atau ubat-ubatan moden yang boleh mencecah ratusan ribu Ringgit setahun. Kos rawatan yang begitu tinggi bukan sahaja memberi tekanan kepada pesakit dan keluarga tetapi turut meningkatkan jumlah tuntutan insurans.
Apabila tuntutan insurans meningkat secara berterusan, tekanan tersebut akhirnya diterjemahkan kepada kenaikan premium yang perlu ditanggung oleh pengguna. Sebab itu, inflasi kos perubatan bukan sahaja menjejaskan pesakit, malah turut memberi kesan kepada kemampuan rakyat untuk mengekalkan perlindungan kesihatan.
Laporan media turut membangkitkan isu bil hospital swasta yang mengandungi pelbagai caj sampingan dan caj peralatan asas. Malah Galen Centre pernah menyatakan bahawa sehingga 70 peratus daripada bil hospital swasta terdiri daripada caj yang tidak dikawal selia. Apabila kos rawatan dan caj hospital terus meningkat, jumlah tuntutan insurans turut meningkat. Tekanan ini akhirnya diterjemahkan kepada kenaikan premium dan perlu ditanggung oleh pengguna.
Yang di-Pertua, menurut Aon’s Global Medical Trend Rates Report tahun 2025, Malaysia mencatatkan kadar inflasi perubatan sebanyak 15 peratus sebagai perbandingan China dan Hong Kong mencatatkan 8 peratus, Australia mencatatkan 5.1 peratus, manakala Jepun hanya mencatatkan 0.9 peratus.
Angka 15 peratus ini bukan sekadar statistik, ia akhirnya diterjemahkan kepada bil rawatan yang lebih tinggi, tuntutan insurans yang meningkat dan premium semakin membebankan rakyat. Persoalannya, mengapakah inflasi perubatan di Malaysia jauh lebih tinggi berbanding dengan beberapa negara yang lain? Apakah faktor yang sebenar yang menyebabkan kos rawatan terus meningkat?
Malaysia tidak perlu mengikut sepenuhnya model negara lain. Namun kita perlu mengambil pengajaran daripada negara yang berjaya mengawal kos rawatan melalui ketelusan harga, jadual fi yang terus tersusun dan kawal selia yang lebih berkesan.
Yang di-Pertua, kenaikan premium yang berterusan bukan sahaja memberi kesan kepada pemegang polisi tetapi juga kepada sistem kesihatan awam negara.
Apabila rakyat tidak lagi mampu mengekalkan perlindungan insurans dan takaful kesihatan, mereka akhirnya akan kembali bergantung kepada hospital kerajaan untuk mendapatkan rawatan.
Dalam jangka pendek, keadaan ini boleh meningkatkan kesesakan hospital awam, memanjangkan tempoh menunggu dan menambah tekanan kepada doktor, jururawat dan petugas kesihatan. Dalam jangka panjang pula, sekiranya isu ini tidak ditangani secara menyeluruh, ia berisiko mewujudkan tekanan kapasiti yang serius terhadap sistem kesihatan awam negara serta kos tanggungan kerajaan akan meningkat tinggi.
Saya juga ingin menarik perhatian kerajaan terhadap satu senario yang amat membimbangkan. Sekiranya syarikat-syarikat insurans mendapati produk insurans kesihatan tidak lagi mampan dan dari segi kewangan sehingga mengalami kerugian berterusan, tidak mustahil mereka akan mengurangkan penawaran atau menarik balik produk tersebut daripada pasaran atau mengehadkan perlindungan.
Jika keadaan ini berlaku, implikasinya amat besar. Rakyat akan kehilangan akses kepada perlindungan kesihatan daripada pihak swasta, lebih ramai pesakit akan bergantung sepenuhnya kepada hospital kerajaan, sekali gus meningkatkan beban kewangan kerajaan serta tekanan terhadap kemudahan kesihatan awam.
Oleh itu...
Dato’ Sri Doris Sophia anak Brodi - Sri Aman
Yang Berhormat, sila landing Yang Berhormat.
Dr. Sivakumar a/l Varatharaju Naidu - Batu Gajah
Ya, saya akan. Tuan Yang di-Pertua, akhir sekali syor-syor PAC perlu dilaksanakan dengan serius dan segera. Laporan ini telah memberikan diagnosis yang jelas. Kini yang penting ialah tindakan susulan yang berkesan. PAC telah mencadangkan penambahbaikan mekanisme kenaikan premium secara lebih berperingkat bagi mengelakkan kejutan kewangan kepada pengguna.
PAC turut menekankan keperluan memperkukuh ketelusan maklumat, mekanisme perkongsian risiko, struktur premium yang lebih adil serta penguatkuasaan yang lebih tegas terhadap pihak yang gagal mematuhi garis panduan.
Jadi, sebagai penutup laporan PAC ini telah memberikan satu diagnosis yang jelas dan lengkap dan apa yang kita perlukan ialah rawatan dasar yang tepat. Sekian, terima kasih.
Dato’ Sri Doris Sophia anak Brodi - Sri Aman
Terima kasih Yang Berhormat. Memandangkan Yang Berhormat Langkawi menarik diri daripada membahas, saya ingin menjemput Yang Berhormat Jempol. Silakan Yang Berhormat.
Dato’ Haji Shamshulkahar bin Mohd Deli - Jempol
Bismillahirahmanirahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam sejahtera dan juga selamat petang. Terima kasih Puan Yang di-Pertua.
Jempol ingin merakamkan syabas dan tahniah kepada Jawatankuasa Kira- kira Wang Negara (PAC) atas penyediaan penyata yang komprehensif berhubung peningkatan premium insurans kesihatan, caj hospital swasta dan impaknya kepada kesihatan awam. Penyata ini bukan sahaja mengenal pasti punca utama masalah malah mengemukakan sebagaimana yang telah diterangkan tadi, 17 cadangan yang praktikal demi melindungi kesejahteraan rakyat.
Puan Yang di-Pertua, seterusnya Jempol ingin menyentuh ketidaktelusan caj hospital swasta meningkatkan beban rawatan rakyat. Setakat tahun 2023, seramai 7.7 juta rakyat mempunyai perlindungan Medical & Health Insurance/Takaful ataupun MHIT. Dalam tempoh 2021 hingga 2023, kos tuntutan MHIT meningkat 73 peratus, jauh melebihi pertumbuhan premium sebanyak 21 peratus.
Dato’ Haji Shamshulkahar bin Mohd Deli - Jempol
Jadi, nilai tuntutan pula meningkat daripada 0.96 bilion pada tahun 2023 kepada RM6.75 bilion pada tahun 2023. Keadaan ini menyebabkan bayaran premium meningkat sehingga 40 hingga 70 peratus. Sekali gus membebankan rakyat, terutama warga emas yang akhirnya, terpaksa membatalkan polisi insurans kerana tidak lagi mampu membayarnya.
Dan ini memberi beban kepada warga emas ya dan saya sendiri berpengalaman di depan mata saya perkara ini berlaku. Di mana seorang pesara bila dia nak ambil ubat, kemudian hadapi masalah kerana GL nya tidak cukup. Jadi, timbul masalah-masalah ini ya, khususnya di klinik swasta ataupun pusat rawatan kesihatan swasta.
Berdasarkan penyata, antara punca utama kenaikan bil perubatan ialah sistem pengambilan hospital swasta yang tidak standard dan kurang telus. Terdapat amalan mengenakan caj berasingan bagi item asas seperti pelupusan sisa klinikal, sarung bantal dan alcohol swab yang sepatutnya termasuk dalam caj bilik.
Selain itu, PAC juga mendapati bahawa pesakit yang menggunakan surat jaminan (GL) dikenakan caj lebih tinggi berbanding pesakit yang membayar secara tunai seperti yang telah saya nyatakan tadi.
Persoalan Jempol, apakah langkah pihak kerajaan dalam meminda Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 [Akta 586] bagi menangani budaya caj kreatif, caj yang dikenakan oleh pihak swasta yang membebankan rakyat?
Puan Yang di-Pertua, seterusnya ialah harga ubat dan juga monopoli pharmaceutical, menekan kos rawatan. Penyata PAC juga turut mendedahkan wujudnya amalan markup yang tinggi iaitu menaikkan harga yang tinggi dalam rantaian bekalan sehingga ubat generic di hospital kadangkala dijual lebih mahal daripada ubat berjenama.
Lebih membimbangkan, melalui penyata tersebut terdapat lebih 1,500 jenis ubat yang hanya mempunyai satu pengeluar berdaftar di Malaysia. Sekali gus, mewujudkan unsur monopoli yang mengekalkan harga ubat pada paras tinggi.
Persoalan Jempol, apakah tindakan kerajaan dan Suruhanjaya Persaingan Malaysia
(MYCC) bagi menangani monopoli ini? Apakah langkah konkrit untuk mengawal harga ubat dan meningkatkan persaingan dalam pasaran pharmaceutical?
Puan Yang di-Pertua, kesan daripada ini, apabila rakyat tidak lagi mampu mengekalkan perlindungan insurans swasta, mereka akan beralih ke hospital kerajaan. Keadaan ini meningkatkan kesesakan, memanjangkan tempoh menunggu pesakit dan menambah tekanan kewangan kepada pihak kerajaan.
Memang kita lihat hari ini di mana-mana sahaja di seluruh negara, hospital kerajaan menjadi pilihan daripada sebahagian besar rakyat negara kita kerana antaranya ialah mereka beralih, tidak lagi mengambil insurans kerana tidak mampu membayar insurans setiap bulan. Jadi, itulah memberi kesan kepada hospital kerajaan. Kita memang simpati pada hari ini.
Dato’ Sri Doris Sophia anak Brodi - Sri Aman
Sila gulung Yang Berhormat, Yang Berhormat, sila gulung.
Dato’ Haji Shamshulkahar bin Mohd Deli - Jempol
Kepada hospital- hospital kerajaan yang mana doktor dan juga jururawat bekerja 24 jam setiap hari.
Terima kasih, tahniah kita ucapkan juga kepada doktor-doktor dan juga jururawat. Ini mungkin timbul daripada kesan ini juga. Bebanan yang mana pesakit-pesakit terpaksa sekarang ini menumpukan sepenuhnya kepada hospital kerajaan.
Jadi akhir sekali, apakah langkah jangka pendek dan juga jangka panjang kerajaan bagi memastikan premium insurans ini kekal mampu milik, kos rawatan swasta lebih terkawal dan akses rakyat ya, kepada perlindungan kesihatan yang mampan terus terjamin di negara kita? Sekian, terima kasih.
Dato’ Sri Doris Sophia anak Brodi - Sri Aman
Terima kasih Yang Berhormat Jempol. Seterusnya, Yang Berhormat Kuala Nerus. Silakan.
Dato' Dr. Hj. Alias bin Razak - Kuala Nerus
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera. Alhamdulillah, terima kasih pada Puan Yang di-Pertua kerana memberi peluang kepada Kuala Nerus untuk membahaskan Penyata Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara berkaitan dengan premium insurans kesihatan, caj hospital swasta dan impak kepada kesihatan awam. Dan juga tahniah kepada PAC yang telah membentangkan satu laporan yang agak komprehensif ini.
Tuan Yang di-Pertua, lonjakan kos SSS juga turut disumbang secara parah oleh peningkatan kos ubat-ubatan sekitar 40 peratus dan kos peranti perubatan melonjak sekitar 100 peratus akibat rantaian kenaikan harga minyak. Kos input ini sepatutnya boleh dikawal oleh kerajaan.
Oleh itu, saya mendesak KKM dan KPDN untuk bertindak tegas melaksanakan syor PAC yang kesepuluh iaitu menetapkan mekanisme pengawalan harga ubat-ubatan dan peralatan perubatan agar kekal munasabah. Sekali gus menghalang mana-mana pihak daripada mengambil keuntungan berlebihan di atas penderitaan rakyat ini.
Puan Yang di-Pertua, satu lagi pembongkaran yang mengejutkan kita adalah mengenai data kemasukan wad. Di KKM, ada konsep gatekeeping iaitu kes yang ringan diselesaikan di klinik pesakit luar dan tidak dimasukkan ke wad. Manakala hospital hanya untuk kes kritikal yang memerlukan rawatan intensif.
Tetapi Laporan Bank Dunia April 2026 mendedahkan perkara yang sebaliknya. Pada tahun 2024, sebanyak 23.6 peratus daripada keseluruhan kemasukan wad inpatient di hospital swasta dan kes ACSC iaitu ambulatory care assertive condition, dengan izin, yang sepatutnya boleh dirawat sebagai pesakit luar tetapi kes ini dimasukkan ke wad, yang mana kes yang tertinggi ialah penyakit cirit birit. Dengan jumlah 168,343 episod kes kemasukan ke wad kerana cirit-birit.
Puan Yang di-Pertua, kenapa manipulasi ini boleh berlaku? Penyata PAC DR.12 tahun 2026 mendedahkan struktur produk insurans semasa terlalu lapuk dan bersifat in patient focused. Hospital swasta mengambil kesempatan atas moral hazard ini. Mereka tahu pelan insurans tidak menanggung kos pesakit luar. Oleh itu, mereka memasukkan pesakit cirit-birit ke wad bagi membolehkan caj SSS dikenakan, sekali gus membebankan dana premium pesakit.
Oleh itu, Dewan ini mesti mendesak pelaksanaan syor PAC Parlimen yang menyokong penuh inisiatif reset. Kita mesti segerakan plan based MHIT untuk me- reset semula reka bentuk produk supaya merangkumi kos rawatan pencegahan dan pesakit luar. Sekali gus mematikan insentif salah kemasukan wad.
Kedua, kita mesti kuatkuasakan syor PAC untuk mewujudkan standard clinical pathways yang tataetika tuntutan berpusat. Sekiranya hospital swasta dikesan menahan pesakit kes ringan tanpa justifikasi klinikal, syarikat insurans berhak memotong pembayaran tuntutan tersebut dan hentikan rantaian fee for service ini dengan transisi penuh ke sistem DRG seperti mana yang disyorkan oleh PAC.
Tuan Yang di-Pertua, dalam kita membongkar ketidakcekapan pihak swasta, kita juga wajib melihat cermin realiti kegagalan orang ramai dalam menjaga kesihatan. Berdasarkan rumusan PAC, majoriti rakyat Malaysia dikesan kurang kesedaran dan minat untuk melakukan saringan kesihatan awal serta mengamalkan gaya hidup sihat.
Akibatnya, berlaku kelewatan mengesan penyakit yang akhirnya, menyebabkan kes penyakit tidak berjangkit seperti diabetes, darah tinggi dan sakit jantung terus meningkat tinggi. Bila penyakit sudah berada di peringkat yang akhir, mereka terpaksa dimasukkan ke hospital. Tuntutan kos rawatan insurans melonjak naik dan akhirnya, sebahagian besar daripada mereka beralih membanjiri hospital kerajaan.
Sebab itu saya menuntut kerajaan menguatkuasakan syor PAC yang ke-16 secara mandatori. Semua kementerian, agensi kerajaan, GLC dan institusi pendidikan wajib untuk menggalakkan amalan kesihatan dan menggiatkan kempen pencegahan NCD secara agresif. Ini bukan lagi soal penjagaan diri, ini soal membendung inflasi kos perubatan negara dan menyelamatkan fasiliti kesihatan awam daripada terus runtuh.
Akhirnya Tuan Yang di-Pertua, langkah intervensi kosmetik tidak lagi memadai. Demi kepentingan rakyat dan kesihatan awam, saya mendesak tiga tindakan drastik ini diambil serta-merta oleh MOF, KKM dan BNM secara syor sebagaimana yang disyorkan oleh PAC.
Pertama, hentikan sistem fee for service. Kita mesti menetapkan garis masa mutlak untuk beralih daripada model fee for service kepada model pembayaran
(DRG) diagnosis related groups bagi menyekat amalan ketidaktentuan melampau caj hospital swasta.
Kedua, pindaan Akta 586. KKM mesti meminda Akta 586 untuk meluaskan bidang kuasa kawal selia merangkumi bekalan hospital, bukan sekadar mengehadkan kawalan ke atas yuran profesional doktor semata-mata.
Dato' Dr. Hj. Alias bin Razak - Kuala Nerus
Ketiga, reka semula produk insurans. BNM mesti mengarahkan industri merombak produk insurans supaya merangkumi kos rawatan pencegahan dan pesakit luar (outpatient) bagi menghentikan insentif salah kemasukan wad bagi kes- kes yang ringan. Kesihatan rakyat Malaysia bukan komoditi pasaran bebas untuk diperdagangkan oleh syarikat insurans dan hospital swasta. Saya menyokong penuh laporan PAC DR.12 Tahun 2026 ini. Sekian, terima kasih.
Dato’ Sri Doris Sophia anak Brodi - Sri Aman
Terima kasih, Yang Berhormat Kuala Nerus. Seterusnya Yang Berhormat Batu. Silakan, Yang Berhormat.
Tuan Prabakaran a/l M Parameswaran - Batu
Terima kasih, Puan Yang di-Pertua untuk bagi Batu bahagian dalam ucapan ini. Dan tahniah kepada PAC untuk memberikan laporan ini kepada Ahli Parlimen Dewan yang mulia ini dan juga ini adalah satu-satu topik hangat berkaitan insurans, polisi ataupun caj perubatan.
Saya nampak banyak anggota-anggota, Ahli Parlimen memang aktif kritik berkaitan dengan kenaikan insurans ini.
Puan Yang di-Pertua, saya ingin memulakan dengan satu pendirian yang jelas. Rakyat tidak mempertikaikan keperluan industri yang kekal mampan. Kita memahami kos rawatan semakin meningkat dan inflasi perubatan memberi tekanan kepada keseluruhan sistem. Namun, pada masa yang sama rakyat berhak mempersoalkan mengapa mereka semakin menjadi penyerap terakhir kepada setiap kenaikan kos dalam sistem.
Kalau kita lihat realitinya ia sangat mudah. Apabila kos rawatan meningkat, premium meningkat. Apabila premium meningkat, rakyat membayar lebih dan apabila berlaku pelarasan dalam sistem, akhirnya rakyat juga yang menanggungnya.
Sebab itu rakyat bertanya sama ada beban ini benar-benar dikongsi secara adil atau hanya dipindahkan kepada pemegang polisi semata-mata.
Puan Yang di-Pertua, apa yang membimbangkan saya bukan sekadar kenaikan premium tetapi kemampuan rakyat untuk terus kekal dilindungi. Ramai yang mengambil polisi ketika mereka masih muda, sihat dan mampu. Mereka membayar selama 10 tahun, 15 tahun dan ada yang sehingga 20 tahun. Mereka percaya, apabila musibah datang perlindungan itu akan membantu mereka.
Tetapi realitinya hari ini, apabila usia meningkat dan risiko kesihatan bertambah, premium juga naik dengan ketara. Akhirnya ada yang mengurangkan perlindungan, menukar pelan kepada yang lebih rendah dan juga ada yang membatalkan polisi sepenuhnya. Jika seseorang tidak lagi mampu mengekalkan perlindungan ketika mereka paling memerlukannya maka kita perlu bertanya sama ada sistem ini masih mencapai tujuan asalnya.
Isu ini juga lebih berat bagi golongan warga emas dan pesara. Ini kumpulan yang paling terdedah. Pendapatan mereka tidak lagi meningkat tetapi risiko kesihatan meningkat. Ada yang bergantung kepada pencen, simpanan persaraan atau bantuan keluarga. Bayangkan seseorang yang telah membayar premium selama 15 atau 20 tahun kemudian, apabila memasuki usia persaraan dan benar- benar memerlukan perlindungan tersebut, premium yang dikenakan pula meningkat ke tahap yang sukar ditanggung. Persoalannya sama ada sistem kita benar-benar melindungi golongan yang paling memerlukan atau hanya berfungsi ketika seseorang itu masih muda dan sihat.
Saya juga ingin membangkitkan satu perkara yang telah disampaikan kepada saya oleh beberapa pemegang polisi. Ada aduan bahawa selepas mereka menggunakan perlindungan insurans untuk rawatan hospital, premium mereka meningkat dengan ketara. Saya tidak menuduh mana-mana syarikat dan saya tidak mengatakan perkara ini berlaku secara meluas tetapi perkara ini memerlukan penjelasan yang jelas. Soalan dia mudah. Adakah pengguna manfaat oleh pegangan polisi boleh memberi kesan kepada premium mereka selepas itu?
Jika ya, sejauh mana kesannya dan adakah perkara ini diterangkan secara jelas semasa polisi dijual kepada mereka? Kerana dari sudut rakyat yang sangat mudah, ia sangat mudah. Jika saya sudah bayar bertahun-tahun mengapa apabila saya menggunakan perlindungan itu, saya kemudian perlu bayar lebih? Ini memerlukan jawapan yang telus supaya keyakinan rakyat tidak terjejas.
Saya juga ingin membawa satu kes yang menyentuh soal keadilan kepada pengguna. Ada pemegang polisi lama yang gagal membayar premium untuk tempoh kira-kira 15 bulan. Polisi itu tidak ditamatkan dan perlindungan diteruskan oleh kerana polisi mereka sudah lama.
Namun, apabila tunggakan ini dijelaskan jumlah dikira berdasarkan kadar premium semasa yang lebih tinggi dan bukan pada kadar premium ketika tunggakan itu berlaku. Jika ini benar, saya ingin bertanya apakah asas pengiraan itu dan adakah pengguna dimaklumkan dengan jelas? Mengapa hutang yang berlaku pada masa lalu perlu dibayar berdasarkan harga hari ini?
Saya berharap kerajaan dan juga BNM dan pihak industri dapat memberi penjelasan yang telus. Apa yang dibangkitkan hari ini bukan soal menentang industri tetapi soal keadilan kepada pengguna. Rakyat tidak menolak keperluan industri untuk kekal mampan tetapi kemampanan industri tidak boleh mencapai dengan menjadi rakyat sebagai penyerap terakhir kepada setiap kenaikan kos dalam sistem.
Terima kasih, Puan Yang di-Pertua.
Dato’ Sri Doris Sophia anak Brodi - Sri Aman
Baiklah. Terima kasih, Yang Berhormat Batu. Seterunya saya ingin menjemput Yang Berhormat Tanjong Karang.
Silakan, Yang Berhormat.
Kapten Dato’ Dr. Zulkafperi bin Hanapi (B) - Tanjong Karang
Terima kasih, Tuan Yang di-Pertua. Saya bangkit hari ini untuk membawa suara keresahan rakyat Tanjong Karang dan amnya seluruh Malaysia mengenai satu bom jangka yang sedang berdetik rapat dengan kehidupan mereka iaitu krisis inflasi kos perubatan.
Isu kenaikan premium insurans, lonjakan caj hospital dan impak sistemik kepada hospital kerajaan bukanlah isu yang terasing. Ia adalah satu vicious cycle, dengan izin yang jika tidak dihentikan segera malah bakal meruntuhkan jaminan akses kesihatan rakyat.
Tuan Yang di-Pertua, data daripada Bank Negara menunjukkan kadar inflasi perubatan negara kini menjejas 15 peratus iaitu antara yang tertinggi di Asia Pasifik.
Akibatnya, syarikat insurans mengambil jalan mudah untuk menaikkan premium sebanyak 30 sehingga 50 peratus demi mengekalkan kelestarian dana tuntutan mereka. Kenaikan mendadak ini adalah satu bentuk kegagalan pasaran yang membebankan pengguna.
Hospital swasta sering menyatakan mereka terikat dengan kos operasi.
Namun realitinya, di bawah Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 hanya fi profesional doktor sahaja yang dikawal selia. Caj-caj lain seperti kos bilik, ubat-ubatan, peralatan makmal dan peranti perubatan ditentukan sepenuhnya oleh pihak hospital mengikut selera pasaran bebas.
Data industri menunjukkan kos bekalan dan caj perkhidmatan hospital ini merangkumi 60 sehingga 70 peratus daripada keseluruhan bil rawatan. Hospital swasta seolah-olah mendapat cek kosong untuk mengenakan caj tanpa sekatan yang munasabah. Wujud satu persepsi salah bahawa insurans akan membayar segala-galanya.
Tanggapan ini melahirkan buffet syndrome di mana berlakunya rawatan atau ujian yang berlebihan oleh pihak hospital. Lebih parah, wujud jurang diskriminasi harga yang ketara daripada tiga sehingga empat kali ganda lebih tinggi antara pesakit berinsurans dengan pesakit yang membayar tunai.
Tuan Yang di-Pertua, apabila premium insurans melonjak melampaui kemampuan golongan M40, B40 dan warga emas tiada pilihan selain terpaksa melepaskan polisi insurans mereka. Kesannya, migrasi masa secara berlebihan rakyat ke hospital kerajaan. Lubuk alternatif terakhir rakyat adalah hospital dan klinik di bawah Kementerian Kesihatan.
Yang kedua, kesesakan melampau dan penurunan kualiti perkhidmatan hospital kerajaan. Sektor awam yang sedia ada sangat padat dan mengalami tekanan yang berganda-ganda. Tempoh menunggu untuk berjumpa doktor sahaja boleh sampai sehingga tujuh ke 10 jam.
Tuan Yang di-Pertua, Tanjong Karang tidak hanya sekadar mengkritik dan menyedari sistem kesihatan kita memerlukan anjakan paradigma dan radikal dengan kegagalan model beverage sedia ada ini. Saya menggesa KKM untuk melaksanakan hybrid model in health financing, dengan izin sebagaimana negara Canada, Taiwan dan South Korea dengan menggabungkan kedua-dua Beveridge dan Bismarck dengan lima langkah berani yang berikut.
Yang pertama, mengintegrasikan sektor awam dan swasta di bawah satu bumbung melalui National Health Insurance Scheme yang digerakkan secara single- payer system. Ini adalah aplikasi Bismarck model. Yang kedua, beralih daripada sistem model fee-for-service kepada model pembayaran tetap berasaskan DRG. Langkah ini secara drastik akan menyekat tindakan hospital mengenakan caj yang berlebihan.
Kapten Dato’ Dr. Zulkafperi bin Hanapi (B) - Tanjong Karang
Yang ketiga, mempercepatkan pelaksanaan rekod kesihatan elektronik yang berpusat. Yang keempat, adalah memperkenalkan ciri ko-pembayaran ataupun co- payment untuk mengekang buffet syndrome dengan [Tidak jelas] dan meletakkan had maksimum tahunan yang ketat. Yang kelima, meneruskan Beveridge Model untuk golongan B40 dengan subsidi penuh premium insuransnya oleh kerajaan.
Kesimpulannya, Tuan Yang di-Pertua, reformasi kesihatan bukan lagi satu pilihan, tetapi satu keperluan yang sangat mendesak. Pelaksanaan penstrukturan secara hybrid model iaitu Bismarck dengan Beveridge. Sistem kesihatan ini, bukan saja akan menangani inflasi kos secara menyeluruh malah akan menjamin kelestarian hospital awam, serta memastikan kelangsungan operasi klinik dan hospital swasta secara lebih sihat.
Jangan kita biarkan rakyat kita jatuh miskin semata-mata kerana mereka jatuh sakit. Sekian, terima kasih.
Dato’ Sri Doris Sophia anak Brodi - Sri Aman
Baiklah, terima kasih Yang Berhormat Tanjong Karang. Seterusnya saya ingin menjemput, Yang Berhormat Kampar. Silakan Yang Berhormat.
Tuan Chong Zhemin - Kampar
Terima kasih, Timbalan Speaker. Saya teruskan perbahasan, Penyata Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara berhubung isu peningkatan premium insurans kesihatan, caj hospital swasta dan impak kepada kesihatan awam.
Pertama sekali saya ingin merakamkan penghargaan kepada PAC, kerana telah menjalankan siasatan yang menyeluruh memanggil pelbagai saksi, mendengar pandangan kementerian, Bank Negara Malaysia, pihak hospital swasta, industri insurans, badan bukan kerajaan dan pakar akademik, sebelum mengemukakan 17 syor penambahbaikan kepada kerajaan.
Isu ini bukan satu isu teknikal, isu ini isu kehidupan rakyat. Ini isu, sama ada seorang ayah mampu meneruskan polisi insurans untuk keluarganya. Ini isu, sama ada seorang pesara, mampu mendapat rawatan di hospital swasta tanpa menghabiskan simpanan seumur hidup. Isu ini, sama ada rakyat Malaysia akan terus yakin bahawa sistem kesihatan negara masih berpihak kepada pesakit atau semakin berpihak kepada keuntungan pihak tertentu.
Timbalan Speaker, kenaikan premium insurans kesihatan dan charge hospital swasta bukan perkara yang baru dan bukan satu perkara yang remeh. Bagi golongan M40, insurans perubatan selama ini menjadi satu bentuk perlindungan kepada mereka kerana mereka tidak cukup kaya atau tidak cukup wang untuk membayar bil hospital swasta secara tunai.
Tetapi mereka juga tidak mahu membebankan hospital kerajaan yang sudah sesak. Namun apabila premium meningkat secara mendadak, ramai terpaksa memilih antara meneruskan perlindungan kesihatan ataupun membayar komitmen asas keluarga seperti rumah, pendidikan anak dan kos sara hidup harian. Lebih membimbangkan apabila rakyat tidak mampu lagi membayar premium, mereka akan membatalkan polisi.
Apabila mereka membatalkan polisi, mereka akan hilang perlindungan dan mereka akan kembali bergantung 100 peratus kepada hospital kerajaan. Akhirnya, beban yang sepatutnya dikongsi oleh sektor awam dan swasta akan kembali menekan sistem kesihatan awam kita. Sebab itu saya bersetuju bahawa PAC memerlukan takbir urus baharu yang bebas dan lebih berkesan untuk penjagaan kesihatan swasta.
Kita tidak boleh membiarkan satu ekosistem yang melibatkan hospital swasta, syarikat insurans, pembekal ubat, pembekal peralatan perubatan dan pesakit, beroperasi tanpa pengawasan harga yang mencukupi. Dalam mana-mana pasaran, apabila maklumat tidak seimbang, pengguna akan menjadi pihak paling lemah.
Dalam sektor kesihatan, pesakit bukan pengguna biasa. Pesakit tidak membeli rawatan seperti membeli sayur di pasar. Pesakit berada dalam keadaan takut, sakit dan terdesak. Dalam keadaan ini, mereka tidak mempunyai kuasa benar, untuk membandingkan harga berunding atau menolak cas yang dikenakan.
Timbalan Speaker, saya ingin menekankan isu harga ubat dan peralatan perubatan. Dalam banyak keadaan, kos rawatan meningkat bukan hanya kerana yuran doktor, adalah kerana harga ubat, implant, alat perubatan, ujian makmal dan cas hospital yang berlapis-lapis.
Sekiranya terdapat dominasi pembekal tertentu atau rangkaian pembekalan yang tertutup, akhirnya harga akan naik dan pesakit akan membayar. Oleh itu, syor PAC supaya KKM bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup untuk menetapkan mekanisme kawalan harga ubat dan peralatan ubat adalah sangat penting. Kerajaan perlu pastikan tiada pihak mengambil kesempatan untuk mendapat keuntungan berlebihan atas nama rawatan kesihatan.
Kita perlu bezakan antara keuntungan yang munasabah ataupun keuntungan yang menekankan rakyat. Saya juga sokong supaya KKM meneroka bekalan terus daripada pengeluar, termasuk memberi keutamaan kepada pengeluar tempatan. Ini bukan saja boleh mengurangkan kebergantungan kepada pembekal tertentu tetapi juga boleh membina industri farmaseutikal dan peralatan perubatan tempatan.
Jika ubat generik yang berkualiti boleh diperoleh dengan harga yang rendah, mengapa kita perlu bayar harga yang lebih tinggi? Jika pengeluar tempatan mampu menghasilkan bekalan yang selamat dan berkesan, mengapa sistem kita masih bergantung kepada rantaian bekalan yang mahal?
Timbalan Speaker, saya juga ingin menyentuh tentang cadangan perlaksanaan sistem diagnosis related group atau DRG dalam sektor swasta. Ini satu reformasi yang penting. Melalui sistem DRG, cas rawatan boleh disusun berdasarkan kategori diagnosis dan rawatan, supaya terdapat penanda aras harga yang lebih jelas.
Pesakit dan syarikat insurans boleh mengetahui lingkungan kos dan yang munasabah bagi rawatan tertentu. Hospital juga tidak boleh mengenakan cas yang terlalu bebas dan tanpa apa-apa asas yang telus. Namun, pelaksanaan DRG tidak boleh jadi satu sistem di atas kertas.
Ia mesti dilaksanakan dengan data yang tepat, penguatkuasaan yang jelas dan audit yang berterusan. Jika tidak, hospital boleh mencari jalan lain untuk mengenakan cas tambahan melalui kategori yang berbeza. Oleh itu, KKM perlu diberikan kuasa undang-undang yang cukup untuk mengawal selia cas perkhidmatan swasta dan bukan hanya yuran doktor.
Timbalan Speaker, saya juga ingin bangkitkan keperluan saluran aduan ...
Dato’ Sri Doris Sophia anak Brodi - Sri Aman
Masa sudah tamat Yang Berhormat Kampar, sila gulung.
Tuan Chong Zhemin - Kampar
Satu minit, habis ini. Saya juga ingin bangkitkan keperluan saluran aduan yang lebih berkesan. Hari ini ramai rakyat tak tahu mana nak buat aduan apabila mereka berdepan pertikaian bil. Apabila mereka dapat bil yang bertimbun-timbun, charge yang amat mahal, mereka tak tahu mana nak buat aduan.
Ada yang dirujuk kepada hospital, hospital rujuk kepada insurans. Insurans pula merujuk kepada polisi dan akhirnya pesakit terperangkap di tengah-tengah.
Dalam keadaan sakit atau selepas keluarga menerima rawatan, rakyat tidak sepatutnya dipaksa menjadi peguam, akauntan atau pakar insurans untuk mempertahankan hak mereka sendiri.
Oleh itu, KKM dan BNM, perlu mewujudkan satu mekanisme penyelesaian aduan yang mudah, cepat dan berkesan. Aduan berkaitan caj perubatan dan insurans mesti diselesaikan dalam tempoh yang munasabah, keputusan yang telus, dan jika caj hospital tidak munasabah, mesti ada kuasa untuk menyemak dan membetulkannya. Jika syarikat insurans bertindak tidak adil, mesti ada kuasa untuk ambil tindakan. Sekian sahaja perbahasan saya, terima kasih.
Dato’ Sri Doris Sophia anak Brodi - Sri Aman
Okey. Terima kasih Yang Berhormat Kampar. Sekarang kita beralih ke Yang Berhormat Pasir Salak. Silakan Yang Berhormat.
Tuan Haji Jamaludin bin Yahya - Pasir Salak
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera, selamat petang.
*Bismillahirrahmanirrahim.
[Membaca doa]* Terima kasih Yang di-Pertua. Pasir Salak mengambil bahagian dalam perbahasan Penyata PAC mengenai peningkatan bayaran premium insurans kesihatan, caj hospital swasta dan kesannya terhadap sistem kesihatan negara. Pasir Salak ingin memberi tumpuan kepada tiga perkara.
Pertama, kawalan terhadap peningkatan caj hospital swasta. Perbahasan mengenai premium insurans tidak akan selesai jika kita tidak melihat faktor yang mendorong kenaikan premium itu sendiri, iaitu kos rawatan. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, caj hospital swasta meningkat dengan kadar yang membimbangkan.
Kenaikan ini akhirnya dipindahkan kepada syarikat insurans melalui tuntutan yang lebih tinggi dan seterusnya dipindahkan kepada pemegang polisi melalui premium yang lebih mahal. Kerajaan perlu meneliti sama ada mekanisme kawal selia sedia ada, benar-benar mampu memastikan struktur caj hospital swasta kekal munasabah dan telus. Pada masa yang sama, amalan pengebilan, penggunaan prosedur serta kadar caj bagi perkhidmatan tertentu juga perlu dipantau secara lebih menyeluruh. Jika kos rawatan terus meningkat tanpa kawalan, premium insurans akan terus meningkat.
Yang kedua, kesannya terhadap sistem kesihatan awam. Apabila premium menjadi semakin mahal, sebahagian rakyat akan mengurangkan perlindungan insurans atau menghentikan polisi mereka. Pilihan yang tinggal ialah mendapat rawatan di hospital kerajaan.
Tuan Haji Jamaludin bin Yahya - Pasir Salak
Oleh itu, isu premium insurans bukan lagi isu sektor swasta semata-mata. Ia memberi kesan langsung kepada kemampuan sistem kesihatan awam menampung permintaan yang semakin meningkat.
Yang ketiganya, pembaharuan model pembiayaan kesihatan negara.
Peningkatan kos rawatan, pertambahan penyakit tidak berjangkit dan penuaan penduduk akan terus memberi tekanan kepada sistem kesihatan negara. Kerajaan perlu mengemukakan hala tuju yang jelas mengenai model pembiayaan kesihatan pada masa hadapan termasuk peranan sektor awam, sektor swasta dan industri insurans dalam memastikan rakyat terus mendapat akses kepada rawatan pada kos yang mampu ditanggung. Model pembiayaan yang mampan perlu mengimbangi tiga perkara iaitu kemampuan rakyat membayar, kelangsungan industri insurans dan keupayaan hospital awam serta swasta menyediakan perkhidmatan yang berkualiti.
Tuan Yang di-Pertua, Penyata PAC ini memberi gambaran bahawa peningkatan premium insurans, kenaikan caj hospital swasta dan tekanan terhadap hospital kerajaan saling berkait antara satu sama lain. Sebarang penyelesaian perlu mengambil kira keseluruhan ekosistem kesihatan, bukan tertumpu pada satu aspek sahaja.
Pasir Salak berharap kerajaan dapat melaksanakan tindakan yang lebih menyeluruh bagi mengawal peningkatan kos rawatan, memastikan perlindungan insurans kekal mampu dimiliki dan pada masa yang sama memperkukuhkan sistem kesihatan awam supaya rakyat terus mendapat akses kepada rawatan yang berkualiti.
Sekian, terima kasih, Tuan Yang di-Pertua.
Dato’ Sri Doris Sophia anak Brodi - Sri Aman
Terima kasih Yang Berhormat Pasir Salak. Sekarang kita beralih ke pembahas kita yang terakhir. Saya ingin menjemput Yang Berhormat Alor Setar untuk membahas bagi menggantikan tempat Yang Berhormat Langkawi. Silakan, Yang Berhormat.
Tuan Afnan Hamimi bin Dato’ Haji Taib Azamudden - Alor Setar
Terima kasih Puan Speaker atas ruang yang diberikan untuk membahas ini. Saya mengambil peluang ini, Puan Speaker. Daripada semua perbahasan rakan-rakan Ahli Parlimen tadi, semua menunjukkan perhatian terhadap laporan PAC ini.
Puan Speaker dan Ahli-ahli Dewan sekalian, daripada laporan PAC ini, jelas kita dapat mesej bahawa kenapa kesihatan rakyat menjadi industri untuk mengaut keuntungan, kenapa diambil kesempatan kepada rakyat yang memerlukan. Rakyat yang tak ada duit, pergi hospital kerajaan. Rakyat yang ada duit, dia beli insurans.
Kos insurans dinaikkan pula.
Adakah sekarang ini kita sedang melepaskan mereka yang berniaga dalam bidang perubatan ini untuk berniaga sesuka hati, naikkan harga sesuka hati di atas kesempitan orang yang sedang sakit, yang memerlukan ubat, yang memerlukan rawatan? Ini sesuatu yang tidak betul. Ini sesuatu yang tidak kena sedang berlaku dalam negara kita. Saya rasa kedua-dua belah pihak, kerajaan pembangkang, sekata dalam hal ini. Tak patut kita biarkan perkara ini.
Syor PAC. Daripada 17 syor, satu pertiga― 15. Lima syor ditujukan kepada Bank Negara Malaysia. Kenapa Bank Negara tak mengawal kenaikan harga industri insurans yang menaikkan harga sesuka hati? Kenapa Bank Negara tak kawal hospital-hospital swasta yang mengenakan kos yang tinggi? Perkara ini berlaku di depan mata kita.
Dalam masa yang sama, Yang Berhormat Pasir Gudang tadi sebut, saya dengar secara online dalam perjalanan, hospital swasta mengaut keuntungan berbilion Ringgit, Puan Speaker. Sepatutnya keuntungan itu dialihkan kepada hospital kerajaan untuk tampung kelemahan-kelemahan yang ada. Kenapa Bank Negara, kenapa sektor-sektor, agensi-agensi berkenaan tak pantau perkara ini?
Saya bagi contoh. Apabila kerajaan kebetulan potong bajet KKM yang disebut oleh Pasir Gudang tadi, real case berlaku di Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar. Facility ada― terima kasih. KKM buat facility cantik, mesin canggih, hospital canggih― Hospital Pendang baru siap. Ahli Parlimen Pendang tak ada sini.
Hospital Baling baru siap. Bagus. Tapi, pegawai tak ada. Barang ada tapi orang nak operate, nak operasikan barang itu, mesin itu tak ada.
Puan Speaker, di Hospital Sultanah Bahiyah, misalnya, keperluan sebenar yang patut ada adalah 60 orang pegawai perubatan. Tapi, yang ada sekarang ini hanya 16 orang. Tak sampai separuh. Dan 16 orang pegawai perubatan itu terpaksa cover di Hospital Pendang, terpaksa cover Hospital Baling, Hospital Langkawi.
Sebab, di setiap satu hospital yang saya sebut tadi ini, di daerah itu hanya ada seorang pegawai perubatan. Kalau dia cuti, dia sakit, dia MC, yang Sultanah Bahiyah lah kena pergi cover. Dalam masa yang sama, di Hospital Sultanah Bahiyah itu ada 200 orang pesakit klinik harian. Seorang pegawai perubatan― sepatutnya klinik harian ini sampai pukul 2 petang saja, tapi hari ini kena extend sampai pukul 7 petang sebab 200 orang patient. Patutnya pagi dia masuk klinik, petang dia pergi tengok patient dekat wad.
Seorang pegawai perubatan kena tengok 30 orang pesakit di wad. So, dalam sehari, dia kena tengok 230 orang pesakit. Ada empat orang pegawai perubatan.
Mati depa ni, lembik depa ni. Keluar pagi, balik malam. Ada doktor yang balik kemalangan. Kita baca kemalangan-kemalangan jalan raya itu berlaku, sedih, kesian. Mereka berbakti kepada rakyat. Tapi, mereka tak sempat tengok kesihatan diri mereka sendiri.
Apa lagi yang berlaku? Dalam wad kecemasan― ini real case, Puan Speaker, sebab doktor ini mari jumpa kita mengadu. Di wad kecemasan, kalau dia masuk wad kecemasan itu dia zon hijau, zon kuning, doktor tak sempat tengok sebab tak kritikal. Doktor hanya sempat tengok di zon merah. Jadi, orang yang duduk dekat zon hijau, zon kuning ini duk tunggu doktor tak sampai-sampai. Bukan doktor tak nak tengok tapi sebab tak cukup orang.
Akhir sekali, dia terpaksa balik atau pun terpaksa keluar pi hospital swasta.
Hospital swasta tanya, “Ada insurans, tak ada insurans?” Dia kata tak ada, bayar cash. Tak ada cash, tak layan. Kalau ada insurans, sekarang insurans naikkan pula harga. Ini zalim, menganiaya orang yang susah dan memerlukan. Tak boleh dibiarkan keadaan macam ni.
Pesakit kanser, contohnya, yang buat kemoterapi. Saya dimaklumkan doktor hanya boleh entertain atau pun boleh tengok pesakit kanser pada stage empat sahaja. Kalau dia stage satu, stage dua, stage tiga, doktor tak dan tengok. Bukan doktor tak nak tengok, doktor tak dan tengok. Menyebabkan yang stage satu, dua, tiga ini terpaksa tunggu que lama berbulan-bulan. Elok nak sampai giliran esok nak jumpa doktor, hari ini dia mati dah sebab dia tak sempat dirawat, Puan Speaker. Ini yang berlaku real dalam negara kita.
Kenapa benda ini berulang kali disebut, banyak kali disebut, bertahun-tahun disebut oleh siapa saja? Kenapa tidak ada tindakan yang serius? Nyawa rakyat bukan barang yang kita boleh jual beli. Orang yang susah, orang yang miskin, orang yang memotong getah, orang buat bendang, orang yang tak ada duit nak makan nasi, orang yang nak kena hantar anak pi sekolah, kena jalan kaki tak ada kenderaan, orang ini perlukan rawatan perubatan. Kenapa mereka dianiayai?
Apakah ada kasta? Orang ada duit berhak dapat rawatan yang hebat. Orang ada duit dapat ubat yang betul, dapat rawatan yang cepat. Orang tak ada duit, kenapa tak dipandang? Mereka ini rakyat, mereka nyawa. Nyawa bukan barang dagangan. Syor PAC ini mesti dipatuhi segera oleh kerajaan untuk baiki kesihatan negara kita.
Terima kasih, Puan Speaker...
[Tepuk]
Dato’ Sri Doris Sophia anak Brodi - Sri Aman
Terima kasih Yang Berhormat Alor Setar. Okey, maka dengan itu tadi selesailah sudah sesi membahaskan Penyata PAC berkenaan dengan peningkatan bayaran premium insurans kesihatan, caj hospital swasta dan impak kepada kesihatan awam.
Maka, sekarang saya ingin menjemput Yang Berhormat Wangsa Maju, Ahli PAC untuk menjawab. Silakan, Yang Berhormat.
Tuan Ir. Ts. Zahir bin Hassan - Wangsa Maju
Terima kasih Puan Yang di- Pertua. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.
Saya berdiri di hadapan Dewan yang mulia ini sebagai Ahli Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) untuk menggulung perbahasan yang telah dibangkitkan oleh Ahli-ahli Yang Berhormat yang mengambil bahagian. Terima kasih di atas perbahasan yang penuh komitmen terhadap pandangan serta cadangan bagi isu peningkatan bayaran premium insurans kesihatan, caj hospital swasta dan impak kepada kesihatan awam.
Kini kita sedar kemelut inflasi perubatan ini bukan sekadar isu komersial swasta tetapi suatu isu asasi yang membakar emosi rakyat, mencetuskan keraguan terhadap ketelusan pasaran dan memberi tekanan domino secara langsung kepada sistem kesihatan awam negara.
PAC telah memulakan prosiding komprehensif ini sejak 24 Februari 2025 melalui mandat Peraturan Mesyuarat 77(1)(d). Bagi memastikan ketelusan mutlak, PAC bukan sahaja memanggil saksi-saksi rasmi daripada Kementerian Kewangan, Bank Negara dan Kementerian Kesihatan tetapi kami juga mendengar keterangan- keterangan daripada pelbagai pemegang taruh industri termasuk persatuan insurans, ejen insurans, persatuan hospital swasta.
Tuan Ir. Ts. Zahir bin Hassan - Wangsa Maju
Malah, kami membuka pintu kepada pendekatan seluruh negara whole-of- nation approach dengan mengadakan dua sesi pendengaran awam di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur yang dihadiri hampir 800 orang awam.
Menyentuh isu pendekatan seluruh negara, whole-of-nation ia bukan sekadar slogan politik, ia memerlukan keterlibatan serta kebertanggungjawaban semua pihak di semua peringkat. Dari Putrajaya hingga ke pelosok kampung, dari yang tua kepada yang muda, dari syarikat gergasi kepada peniaga kecil. Kerajaan bukan pelakon tunggang tetapi peranan yang amat penting. Perkongsian maklumat dan sumber menjadi prasyarat kejayaan usaha ini agar tiada silo antara pemegang taruh.
Ketahanan negara adalah tanggungjawab bersama, keadaannya kompleks untuk ditangani oleh satu-satu pihak sahaja. Ia memerlukan dasar yang inklusif.
Meneliti perbahasan Ahli-ahli Yang Berhormat menggambarkan dengan jelas bahawa Ahli-ahli Yang Berhormat bersama PAC sependapat wujudnya kelemahan sistemik yang mendalam. Jurang perundangan serta herotan tingkah laku (moral hazard) dalam ekosistem perubatan swasta. Di antara penemuan utama kami dalam PAC adalah seperti berikut.
Isu lonjakan premium dan kebajikan warga emas. PAC mendapati pelarasan harga premium repricing yang mendadak antara 40 hingga 70 peratus didorong oleh amalan menutup kumpulan risiko lama (closed pool) demi menawarkan produk komersial baharu yang lebih kompetitif kepada peserta muda. Apabila portfolio lama ditutup, ia kehilangan subsidi silang dan menyebabkan baki ahli lama yang kebanyakannya pesara warga emas menanggung lonjakan kos tuntutan sehingga terpaksa membatalkan polisi pada waktu mereka paling memerlukan perlindungan.
Jurang perundangan Akta 586 dan ketidaktelusan caj kreatif hospital. Struktur pengambilan hospital swasta didapati dipenuhi amalan pecahan caj unbundling bagi item asas seperti sarung dan pendaftaran serta manipulasi subsidi silang, kos operasi lewat, mark-up harga ubat. Isu akar berpunca daripada jurang undang- undang Akta 586 sedia ada, di mana Kementerian Kesihatan hanya mempunyai kuasa mengawal yuran profesional doktor manakala komponen bil pengurusan hospital swasta langsung tidak dikawal selia.
Perang kontrak komersial swasta dan diskriminasi harga pesakit. Wujud asimetri harga yang ketara mencecah perbezaan 40 peratus antara pesakit menggunakan surat jaminan insurans dengan pesakit bayar tunai bagi episod klinikal yang serupa. Herotan ini berlaku akibat perang kontrak di mana syarikat insurans mendesak diskaun melampau sehingga di antara 25 hingga 40 peratus yang akhirnya memaksa hospital menaikkan caj keseluruhan bil pesakit insurans bagi menyerap potongan tersebut.
Ketidaklestarian model fee for service, komitmen garis masa RESET dan DRG. PAC mendapati model pembayaran sedia ada berasaskan per item fee for service terbukti bersifat pro inflasi selain memacu herotan tingkah laku seperti moral hazard dan rawatan berlebihan. Sebagai langkah intervensi, pelaksanaan sistem kumpulan berkaitan diagnosis DRG swasta kini disasarkan bermula secara berfasa pada tahun 2026 melalui integrasi produk MHIT asas.
Oleh itu, di antara syor PAC dan langkah intervensi berdasarkan kepada penemuan yang parah ini PAC Parlimen mengesyorkan beberapa langkah pembaharuan struktur jangka pendek dan jangka panjang yang wajib dilaksanakan segera oleh pihak kerajaan demi memelihara ekosistem kesihatan negara.
Yang pertama, kerajaan perlu memberikan tumpuan segera kepada intervensi perundangan melalui pindaan Akta 586 bagi memberi kuasa kepada Kementerian Kesihatan untuk mengawal selia caj perkhidmatan hospital swasta di luar yuran doktor. Pada masa yang sama, Bank Negara wajib menguatkuasakan tindakan punitif yang tegas ke atas mana-mana pengendali insurans yang dikesan memanipulasi tafsiran atau gagal mematuhi langkah interim demi memelihara kebajikan dan kepentingan pemegang polisi.
Bank Negara juga perlu menerajui reformasi struktur industri dengan memastikan syarikat insurans dan takaful beralih kepada model pelarasan premium tahunan yang lebih kecil dan stabil bagi mengelakkan kejutan kenaikan kewangan yang besar terhadap pengguna.
Di samping itu, Bank Negara diminta memperkukuhkan keperluan pengumpulan risiko merentas kumpulan yang serupa termasuk bagi portfolio tertutup serta melakukan kolaborasi dengan teliti bagi memperkukuhkan keadilan dalam perkongsian risiko sambil mengekalkan kemampuan serta kemampanan jangka panjang.
Kementerian Kewangan, Bank Negara dan juga Kementerian Kesihatan perlu menubuhkan satu struktur tadbir urus baharu yang bebas bagi melindungi pengguna, termasuklah untuk menyemak serta mengawal selia caj dan manfaat insurans kesihatan. Dan juga Menteri Kewangan, Kementerian Kewangan, Bank Negara dan Kementerian Kesihatan hendaklah menetapkan satu garis masa yang munasabah dan jelas serta menyegerakan pelaksanaan sepenuhnya inisiatif RESET melalui sokongan berterusan semua pihak.
Kementerian Kesihatan bertanggungjawab memastikan transisi sistem pembayaran berasaskan DRG digerakkan segera di sektor swasta. Kementerian Kesihatan juga hendaklah mempergiat kempen kesedaran awam mengenai pembudayaan gaya hidup sihat secara komprehensif. Langkah ini melibatkan pewajipan ke atas semua kementerian tanpa pengecualian agensi kerajaan, GLC, institusi pendidikan di semua peringkat untuk menggalakkan amalan kesihatan bagi mengurangkan risiko penyakit tidak berjangkit.
Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, kita boleh berterusan menendang tin ke hujung jalan, kicking the can down the road, dengan izin. Dalam isu pembiayaan kesihatan ini, reformasi struktur jangka panjang melalui pelan RESET dan DRG adalah satu-satunya jalan keluar untuk memutuskan rantaian inflasi perubatan swasta. Kegagalan atau penangguhan agenda ini akan mencetuskan kesan dominan yang ngeri. Rakyat yang terpaksa membatalkan insurans akan beralih menumpu ke hospital kerajaan sekali gus melumpuhkan kapasiti fasiliti kesihatan awam negara yang berfungsi sebagai jaringan keselamatan sosial rakyat.
Sebelum saya mengakhiri ucapan penggulungan ini, PAC ingin menegaskan sekali lagi bahawa penjagaan kesihatan adalah hak asasi manusia dan pengurusannya oleh mana-mana entiti komersial tidak boleh dipandu oleh ketamakan keuntungan semata-mata. Sebaliknya mesti berpaksikan penjagaan berasaskan nilai value-based healthcare demi kelangsungan rakyat Malaysia.
Terima kasih.
Dato’ Sri Doris Sophia anak Brodi - Sri Aman
Baiklah. Terima kasih, Yang Berhormat Wangsa Maju. Yang Berhormat, sekarang selesailah sesi penerangan daripada Pengerusi Jawatankuasa Pilihan pada hari ini.
Aturan Urusan Mesyuarat dibaca bagi menyambung semula perbahasan yang ditangguhkan atas masalah, “Bahawa rang undang-undang ini dibacakan kali yang kedua sekarang.”
Dato’ Sri Doris Sophia anak Brodi - Sri Aman
Baiklah, mengikut senarai yang ada pada saya pada petang ini, kita ada 14 orang pembahas. Saya akan baca nama dalam senarai yang ada pada saya.
Yang pertama Yang Berhormat Bukit Gelugor, Yang Berhormat Pendang, Yang Berhormat Tuaran, Yang Berhormat Kuala Kedah, Yang Berhormat Seputeh, Yang Berhormat Maran, Yang Berhormat Selayang, Yang Berhormat Tumpat, Yang Berhormat Sri Aman, Yang Berhormat Sabak Bernam, Yang Berhormat Jelutong, Yang Berhormat Kepong, Yang Berhormat Kulim-Bandar Baharu dan akhir sekali Yang Berhormat Batu Gajah.
Dato’ Sri Doris Sophia anak Brodi - Sri Aman
Kita mulakan dengan Yang Berhormat Bukit Gelugor. Silakan Yang Berhormat.
Tuan Ramkarpal Singh a/l Karpal Singh - Bukit Gelugor
Terima kasih Tuan Speaker berkenaan memberi saya peluang untuk membahas rang undang- undang akta pindaan kepada Akta penjara 1995. Puan Speaker, memandangkan ada kesuntukan masa, saya ingin terus menyentuh kepada seksyen baru yang dicadangkan iaitu seksyen 63A.
Di bawah pindaan tersebut dan pada outset nya dengan izin Puan Speaker, saya dengan segala hormatnya menyatakan dalam pandangan saya bahawa seksyen ini tidak boleh diterima dan seharusnya digugurkan ataupun sekurang- kurangnya dirujuk kembali kepada jawatankuasa untuk dikaji semula.
Now seksyen tersebut, kalau kita lihat kepada RUU tersebut saya baca yang berkenaan. “Tiada tindakan guaman, pendakwaan atau prosiding lain boleh dibawa, dimulakan atau dikekalkan dalam mana-mana mahkamah terhadap mana-mana pegawai penjara dan (b) jika perbuatan kecuaian atau keingkaran itu telah dibuat atau dilakukan olehnya dengan suci hati dan dengan mempercayai semunasabahnya bahawa ia perlu bagi maksud yang diniatkan untuk dicapai melaluinya bagi melaksanakan peruntukan Akta ini”.
Puan Speaker, kita semua sedar bahawa baru-baru ini Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) telah menjalankan inquiry awam ke atas pelanggaran hak asasi manusia semasa dan selepas insiden pada 17 Januari 2025 di Penjara Taiping. Now, aduan tersebut telah mendakwa bahawa sekumpulan banduan telah menjadi mangsa pelanggaran hak asasi manusia di Penjara Taiping.
Saya menyentuh kepada hasil daripada inquiry awam tersebut Puan speaker di mana panel inquiry tersebut telah mengesahkan bahawa berlakunya perlanggaran hak asasi manusia terhadap banduan-banduan dan pada insiden tersebut dan antara penemuan ataupun findings yang telah pun dibuat, pertamanya adalah kekerasan fizikal yang melampau dilakukan oleh sebilangan besar kakitangan penjara terhadap banduan semasa operasi pemindahan dari dewan B ke blok E pada 17 Januari 2025.
Kedua, kecuaian dan kegagalan dalam pemberian rawatan perubatan kepada banduan yang mengalami kecederaan.
Ketiga, terdapatnya unsur penipuan berkenaan dokumentasi serta rekod perubatan. Keempat, TMT ataupun banduan menerima layanan yang tidak berperikemanusiaan dan menjatuhkan maruah susulan insiden 17 Januari 2025 tersebut.
Kelima, laporan polis yang dibuat terhadap mereka banduan-banduan mengandungi maklumat palsu.
Keenam, PDRM gagal menjalankan siasatan yang berasingan terhadap tindakan kekerasan oleh kakitangan penjara ke atas banduan-banduan dan seterusnya kelewatan yang signifikan oleh pihak Jabatan Peguam Negara dalam membuat penelitian terhadap kertas siasatan PDRM dan membuat pertuduhan di mahkamah. Tindakan tatatertib terhadap pengurusan dan kakitangan Penjara Taiping juga tidak diteruskan pada masa itu.
Puan Speaker, ini semuanya adalah penemuan-penemuan yang amat serius yang tidak kita boleh mengabaikan dan sekiranya seksyen baharu 63A ini diperkenalkan atau dimasukkan ke dalam pindaan ini, maka ia nya boleh bersifat lebih regresif, bukannya progresif yang bertentangan Puan Speaker, dengan semangat reformasi di bawah Kerajaan MADANI ini.
Jika kalau kita lihat kepada seksyen tersebut, ia nya memperuntukkan bahawa tiada tindakan undang-undang akan diambil atau boleh diambil atau pun guaman. Ini termasuk tindakan undang-undang jenayah dan juga sivil. No civil or criminal prosecution dengan izin, akan diambil terhadap mana-mana pegawai jika perbuatan itu dibuat dengan suci hati.
Berapa banyak persoalan yang timbul. Pertamanya, siapakah akan memutuskan sama ada tindakan-tindakan tersebut adalah dibuat dengan suci hati?
Adakah pegawai penjara akan membuat keputusan tersebut? Sekiranya ya, bukankah ini akan menggalakkan cover-up dengan izin Puan Speaker terhadap insiden-insiden seperti yang telah pun berlaku di Taiping tersebut.
Keduanya, berkenaan dengan kecuaian ini— boleh saya minta sedikit masa?
Saya akan merumuskan.
Dato’ Sri Doris Sophia anak Brodi - Sri Aman
Satu minit Yang Berhormat.
Tuan Ramkarpal Singh a/l Karpal Singh - Bukit Gelugor
Terima kasih.
Dan kalau kita lihat dari segi sivil Puan Speaker, kecuaian itu bermaksud negligence. Adakah seorang pegawai yang membuat tindakan negligence itu juga akan diberi kekebalan di bawah seksyen ini? Seksyen ini boleh menggalakkan orang untuk mengingat ataupun berpendapat bahawa mereka mempunyai kekebalan untuk melakukan tindakan-tindakan yang bersifat jenayah juga kalau kita lihat pada seksyen ini.
Jadi, saya dengan rendah diri Puan Speaker, kita tidak boleh mengabaikan apakah yang telah pun didapati dari hasil siasatan dari SUHAKAM tersebut. We have to take these findings very seriously dengan izin, Puan Speaker.
Saya sedar bahawa terdapat banyak yang menyatakan bahawa terdapat peruntukan-peruntukan ataupun undang-undang lain yang memperuntukkan seksyen-seksyen yang serupa seperti seksyen ini tetapi dengan izin Puan Speaker, two wrongs do not make a right. Walaupun terdapat seksyen-seksyen ataupun peruntukan seperti ini di undang-undang lain, ia nya tidak sepatutnya menjadi justifikasi untuk memasukkannya ke dalam undang-undang ini.
Jadi Puan Speaker, memandangkan saya ada banyak lagi untuk menambah tetapi masa sudah tamat tapi saya ingin menyimpulkan bahawa peruntukan 63A tersebut patutnya at the very least be referred back kepada jawatankuasa. Terima kasih Puan Speaker.
Dato’ Sri Doris Sophia anak Brodi - Sri Aman
Terima kasih Yang Berhormat Bukit Gelugor. Seterusnya, Yang Berhormat Pendang. Silakan Yang Berhormat.
Datuk Haji Awang bin Hashim - Pendang
Terima kasih. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Selamat petang Puan Yang di-Pertua. Saya mendapat izin untuk saya membahaskan isu berkenaan dengan Rang Undang-undang Penjara. Saya nak menyentuh yang pertamanya sepertimana yang sahabat saya daripada Gelugor tadi menyentuh 63A.
Saya akan menyentuh akta ibu ini dipinda dengan memasukkan selepas seksyen 63 iaitu seksyen yang berikut. Perlindungan terhadap guaman dan prosiding undang-undang di mana tiada tindakan guaman, pendakwaan atau prosiding lain boleh dibawa, dimulakan atau dikekalkan dalam mana-mana mahkamah terhadap.
Pertama, “(a) mana-mana pegawai penjara” dan “(b) mana-mana orang lain bagi atau atas sebab atau berkenaan dengan apa-apa perbuatan yang dilakukan atau berupa dilakukan olehnya di bawah perintah arahan atau suruhan Komisioner Jeneral”.
Jadi, saya melihat seksyen 63A ini satu tindakan untouchable kepada pegawai-pegawai penjara. Maknanya kita tak boleh buat apa dekat dia. Walaupun dia bertindak mengikut melebihi kuasa arahan dan sebagainya, tak boleh ambil tindakan dan ini kita rasa keadilan yang kita sedang bawa ini tidak ada kelihatan adil.
Walaupun prinsip nak buat reformasi undang-undang ini untuk memberi keadilan tapi lagi tidak adil.
Saya ingat undang-undang ini perlu dilemparlah, tak payah bawa masuk dalam ini kalau keadaan macam ni. Yang mana kita lihat cannot— actually, saya nak cakap sikit dalam bahasa English. Cannot take legal action and this 63A also against human right. Dari segi prinsip kita tengok kerana kita tak boleh buat apa-apa kepada Komisioner Jeneral dalam penjara. Begitu juga pegawai-pegawai penjara yang bertindak di luar batasan sepertimana yang disebutkan oleh Gelugor tadi, apa yang berlaku di Penjara Taiping dahulu. Ini satu benda yang perlu kita lihat.
Kalau inilah pindaan rang undang-undang yang dicadangkan oleh pihak KDN, saya rasa pindaan undang-undang ini tak perlu dipinda kerana tak boleh buat apa-apa. Back to normal. Malah lebih teruk regressive disebut oleh Gelugor tadi.
Saya setuju dengan Gelugor banyak benda hari ini, regressive law. Regressive amendment dalam undang-undang sekarang ini. Jadi, saya tidak menolak apabila 63A ini kita cadangkan untuk buat reformasi tapi tidak berlaku reformasi.
Datuk Haji Awang bin Hashim - Pendang
Kerana apa? Kerana akta ibu ini sangat lemah. Sangat tidak menunjukkan keadilan. Dan bukan sahaja melihat kepada keadilan, prinsip keadilan itu tidak dapat dilaksanakan. Yang ini kita lihat, kita tak tahulah, kenapa Menteri Dalam Negeri
(KDN) mencadangkan undang-undang yang macam ini? Apa alasannya? Jadi, kita harap mereka review balik sebelum cadangan semula.
Saya harap semua rakan-rakan dalam Dewan ini, tolak undang-undang ini.
Undang-undang ini adalah undang-undang zalim. Takkan kezaliman akan berlaku di zaman MADANI ini? Semua bila naik, kos semua tanggung oleh rakyat. Apakah MADANI ini, zaman yang menunjukkan zaman kenaikan? Semua barang, termasuk undang-undang penjara yang nak menunjukkan adil tapi lebih zalim. Dengan adanya undang-undang 63A, we are untouchable. Jadi, saya nak bercakap dalam undang- undang 63A yang dicadangkan ini.
Oleh sebab itu, saya melihat perlindungan undang-undang pegawai penjara serta pelantikan sukarelawan dalam program pemulihan. Saya memahami keperluan melindungi pegawai yang menjalankan tugas dengan suci hati. Namun, kerajaan perlu memastikan perlindungan tersebut tidak menimbulkan persepsi bahawa pegawai tertentu kebal daripada tindakan sekiranya berlaku kecuaian atau salah guna kuasa.
[Timbalan Yang di-Pertua (Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor) **mempengerusikan Mesyuarat****] Begitu juga dengan pelantikan sukarelawan. Saya menyokong penglibatan masyarakat dalam proses pemulihan banduan. Kerana pemulihan yang berkesan memerlukan sokongan komuniti. Namun, apakah tapisan keselamatan, latihan dan garis panduan yang akan dikenakan kepada sukarelawan yang dilantik ini? Kita mahu memastikan setiap individu yang terlibat dalam proses pemulihan benar-benar mempunyai integriti dan keupayaan membantu mencapai matlamat.
Sebagai penutup, saya ingin mengemukakan tiga persoalan kepada sahabat saya Yang Berhormat Timbalan Menteri yang ada di depan saya ini. Pertama, apakah mekanisme semak dan imbang yang akan diwujudkan bagi menguasai kuasa luas yang diberikan kepada Komisioner Jeneral Penjara?
Yang kedua, apakah jaminan kerajaan bahawa data yang diperolehi melalui penggunaan peranti pengawasan elektronik akan dilindungi daripada sebarang bentuk penyalahgunaan atau kebocoran?
Yang ketiga, adakah kerajaan bersedia membentangkan laporan tahunan kepada Parlimen mengenai keberkesanan penggunaan EMD, termasuk kadar pelanggaran syarat, kadar pengulangan jenayah serta kos pelaksanaannya?
Saya berharap, sahabat saya Yang Berhormat Timbalan Menteri yang ada di depan saya, dapat memberi penjelasan yang tuntas agar reformasi yang dibawa ini, benar-benar memperkukuhkan sistem kepenjaraan negara tanpa mengabaikan prinsip keadilan, akauntabiliti dan hak rakyat. Saya harap 63A ini, kita mohon supaya kerajaan tarik balik dan review dan revise balik. Sebab sangat banyak kelemahan 63A ini.
Sekian, terima kasih. Saya tidak mahu menyokong. Saya minta tarik balik semua sahabat-sahabat kita yang ada dalam ini, tidak menyokong undang-undang yang dibawa oleh Menteri Dalam Negeri ini. Sekian, terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Terima kasih Yang Berhormat Pendang. Selanjut, dipersilakan Yang Berhormat Tuaran.
Datuk Seri Panglima Madius bin Tangau - Tuaran
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, kerana memberikan Tuaran peluang berbahas bagi Rang Undang- undang Penjara (Pindaan) 2026.
Tuan Yang di-Pertua, secara prinsipnya reformasi terhadap institusi penjara kita adalah sesuatu yang amat dialu-alukan. Malah, sudah lama tertunggak. Kita mahu fasiliti yang lebih moden. Kita mahu pengurusan yang lebih berpaksikan hak asasi manusia.
Namun Tuan Yang di-Pertua, mata Tuaran terfokus kepada satu fasal membimbangkan dan perlu diteliti semula sebelum diluluskan. Tuaran merujuk kepada cadangan memasukkan seksyen baharu 63A iaitu fasal perlindungan terhadap guaman dan prosiding undang-undang kepada pegawai penjara dan individu yang bertindak di bawah arahan Komisioner Jeneral.
Fasal ini berbunyi murni. Kononnya mahu melindungi pegawai yang bertindak dengan suci hati atau good faith. Tetapi realitinya, ini bukan perlindungan biasa. Ini adalah pemberian imuniti mutlak. Satu lesen besar yang akan membina tembok kekebalan di sekeliling dinding penjara. Sekali gus, menghalang mangsa kezaliman daripada menuntut keadilan di mahkamah terbuka.
Tuan Yang di-Pertua, jangan ada pihak di dalam Dewan ini yang cuba salah faham ataupun memutar belit kenyataan saya. Saya berdiri di sini dan berbahas bukan untuk membela penjenayah. Saya berbahas untuk menegakkan integriti dalam sebuah negara demokrasi yang murni, yang diasaskan kukuh di atas prinsip kedaulatan undang-undang atau rule of law. Di bawah rule of law, tiada sesiapa pun yang berada di atas undang-undang dan tidak ada institusi yang boleh kebal daripada prinsip akauntabiliti.
Malah Tuan Yang di-Pertua, mari kita lihat diri kita sendiri di Dewan yang mulia ini. Kita semua di sini adalah Ahli Parlimen. Wakil yang dipilih oleh rakyat untuk menggubal undang-undang tertinggi negara. Namun, wujudkah imuniti mutlak seperti ini untuk kita? Tidak, Tuan Yang di-Pertua. Ahli Parlimen sendiri pun tidak ada imuniti sebegini rupa. Walaupun kita mempunyai kebebasan bersuara di bawah Perkara 63, Perlembagaan Persekutuan tetapi kita tetap tertakluk pada Akta Hasutan. Kita tetap tidak boleh mempersoalkan perkara sensitif. Dan kita langsung tidak kebal daripada tindakan undang-undang di luar Dewan, jika kita melakukan jenayah atau salah laku.
Jadi, jika kita sebagai penggubal undang-undang pun tidak memiliki imuniti sebegini ekstrem, mengapa kita mahu memberikan satu kuasa kekebalan luar biasa kepada pegawai penjara di sebalik tembok atau yang— tembok batu yang legap.
Tuan Yang di-Pertua, mengapa Tuaran begitu tegas dalam hal ini? Kita tidak perlu melihat jauh. Ingatkah kita apa yang berlaku baru sahaja setahun yang lalu?
Pada 17 Januari 2025, di Penjara Taiping. Satu tragedi hitam yang menyayat hati negara, di mana proses pemindahan tahanan bertukar menjadi medan keganasan fizikal dan dahsyat.
Lebih 100 orang tahanan yang berada dalam keadaan kedua-dua tangan mereka digari. Telah diserang, ditumbuk, ditendang dan disembur dengan serbuk lada oleh kira-kira 60 orang warden penjara. Akibat daripada kezaliman itu, seorang tahanan warga emas, Gan Chin Eng berusia 62 tahun telah terkorban, maut.
Tuan Yang di-Pertua, hampir 100 tahanan lain cedera parah. Malah, laporan inkuiri awam SUHAKAM mendedahkan dengan jelas bahawa terdapat kelewatan kritikal dalam memberikan rawatan perubatan kecemasan kepada mangsa dan wujud cubaan untuk memalsukan rekod bagi menutup salah laku tersebut.
Tuan Yang di-Pertua, dalam kes Taiping itu, seorang pegawai akhirnya didakwa di bawah seksyen 304B, Kanun Keseksaan. Keadilan sedang diusahakan di mahkamah. Pegawai ini bukan salah satu daripada pegawai yang ditemu siasat oleh SUHAKAM. Ramai yang bimbang, pegawai ini hanya menjadi kambing hitam.
Sekarang, bayangkan jika seksyen baharu 63A ini sudah wujud ketika kes Penjara Taiping berlaku. Apa akan jadi? Pegawai-pegawai ini akan dengan mudah mempertahankan diri di belakang frasa, ‘bertindak dengan suci hati demi melaksanakan peruntukan akta’. Akhirnya, keluarga mendiang Gan Chin Eng dan ratusan mangsa yang cedera tidak akan mempunyai hak sivil untuk mengheret sang pelaku mahupun pihak pengurusan penjara ke mahkamah. Ini satu kezaliman yang di-legal-kan oleh undang-undang.
Tuan Yang di-Pertua, terdapat satu lagi perkara yang amat membimbangkan saya. Sejak Ordinan Penjara 1952 dan seterusnya, Akta Penjara 1995, banyak perkara berkaitan pengurusan keselamatan, pengawalan tahanan, tindakan semasa kecemasan, penggunaan kekerasan serta prosedur operasi penjara diperincikan melalui peraturan-peraturan dan arahan pentadbiran. Namun, melalui rang undang- undang ini, kerajaan mencadangkan supaya kuasa tertentu dimasukkan terus ke dalam akta induk melalui seksyen baharu 63A.
Pada pandangan Tuaran, ini bukan perubahan kecil. Ini bukan sekadar pindaan teknik. Ini adalah perubahan dasar yang sangat besar. Apabila sesuatu kuasa dinaikkan daripada peringkat peraturan kepada peringkat akta, kuasa tersebut memperoleh kedudukan undang-undang yang jauh lebih kukuh dan lebih sukar dicabar.
Dalam kata lain, Parlimen bukan lagi membincangkan soal prosedur pentadbiran biasa, Parlimen sedang diminta memberikan kuasa statutori yang lebih besar kepada negara ke atas individu yang berada sepenuhnya dalam jagaan negara. Sebab itulah saya berpendapat, seksyen 63A ini tidak boleh dianggap sebagai satu fasal biasa.
Lebih membimbangkan, cadangan ini dibentangkan hanya kira-kira setahun selepas tragedi Penjara Taiping yang menurut dapatan SUHAKAM, melibatkan penggunaan kekerasan yang berlebihan, kegagalan pengurusan, kegagalan rawatan perubatan serta kematian seorang tahanan. Dalam keadaan syor-syor SUHAKAM masih belum jelas jauh mana pelaksanaannya, kerajaan kini meminta Parlimen meluluskan kuasa tambahan yang mempunyai kaitan langsung dengan pengurusan keselamatan dan tindakan penguatkuasaan dalam penjara.
Datuk Seri Panglima Madius bin Tangau - Tuaran
Tuaran ingin bertanya, mengapa kita tergesa-gesa untuk memberikan kuasa tambahan sedangkan persoalan akauntabiliti terhadap tragedi Taiping masih belum terjawab sepenuhnya. Mengapa kita tidak terlebih dahulu meneliti sama ada kelemahan yang dikenal pasti oleh SUHAKAM telah diperbaiki? Mengapa kita tidak terlebih dahulu mendengar pandangan SUHAKAM, Majlis Peguam, pakar hak asasi manusia, bekas pegawai penjara dan pihak-pihak berkepentingan yang lain?
Bukankah itu tujuan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen diwujudkan?
Tuaran ingin bertanya, adakah Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan
(EAIC) sudah dirujuk tentang perkara ini? Apakah pendirian mereka? Begitu juga dengan Jabatan Peguam Negara. Apakah pendirian jabatan itu? Tuan Yang di- Pertua, atas sebab itulah Tuaran berpendapat, berpandangan bahawa seksyen baru 63A adalah terlalu kontroversial dan terlalu besar implikasinya untuk diluluskan secara tergesa-gesa.
Tuaran selaku— saya selaku Ahli Parlimen Tuaran dengan tegas mencadangkan supaya Rang Undang-undang Penjara ini dirujuk semula kepada jawatankuasa bersama-sama dengan Bukit Gelugor dan rakan-rakan yang lain, meminta supaya rang undang-undang ini dirujuk semula kepada Jawatankuasa Pilihan Khas untuk penelitian lanjut.
Saya ada bertanya, bercakap dengan beberapa rakan Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas ini dan mereka ada yang terlepas pandang tentang seksyen baru ini.
Jadi, jika seksyen ini benar-benar diperlukan maka ia tidak akan rugi apa-apa melalui proses penelitian yang lebih teliti. Namun jika terdapat kelemahan, kecacatan atau risiko penyalahgunaan kuasa, maka Parlimen mempunyai tanggungjawab untuk membetulkannya sebelum terlambat. Kita tidak boleh mengembalikan nyawa yang telah terkorban tetapi kita boleh, kita masih mempunyai peluang untuk memastikan tragedi seperti Taiping tidak akan berulang lagi dalam sejarah negara ini. Sekian, terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Terima kasih Yang Berhormat Tuaran. Selanjut, dipersilakan Yang Berhormat Kuala Kedah.
Dr. Ahmad Fakhruddin bin Fakhrurazi - Kuala Kedah
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Terima kasih kepada Tuan Yang di-Pertua di atas peluang yang diberikan kepada saya untuk turut sama membahaskan RUU Akta Penjara 1995 (Pindaan) 2026.
Dalam ruang yang terbatas ini, saya hanya akan menyentuh dua perkara iaitu fasal 6 bertujuan untuk memasukkan Bahagian baharu IVAA dan fasal 11 seksyen baharu 66A ke dalam Akta 537 ini. Tuan Yang di-Pertua, perkara pertama yang saya ingin bangkitkan ialah seksyen 46OA(1).
Peruntukan ini memberi kuasa kepada Komisioner Jeneral melalui perintah bertulis untuk mengarahkan pemasangan peranti pengawasan elektronik ke atas mana-mana banduan yang dikurung dalam penjara, dalam jagaan atau di bawah kawalan pegawai penjara dilepaskan secara lesen di bawah seksyen 43 dan dilepaskan secara parol di bawah seksyen 46H.
Pada pandangan saya, frasa “mana-mana banduan” ini terlalu luas. Ia tidak membezakan kategori banduan, tidak menetapkan penilaian risiko, tidak membezakan antara banduan berisiko tinggi dan rendah. Tidak mengambil kira jenis kesalahan dan tidak menjelaskan sama ada penggunaan peranti ini adalah langkah luar biasa atau akan menjadi amalan rutin pentadbiran. Dalam hal ini, pada hemat saya, Parlimen sepatutnya menetapkan sekurang-kurangnya garis asal tentang siapa yang boleh dikenakan peranti ini dan atas alasan apa.
Kalau tidak, kita sedang memberi satu kuasa yang terlalu umum kepada pihak pentadbiran untuk menentukan bahawa hampir mana-mana banduan dalam sistem penjara boleh dipakaikan alat pengawasan elektronik. Saya ingin bertanya kepada Menteri, mengapa kerajaan memilih frasa “mana-mana banduan” tanpa menetapkan kategori yang lebih jelas? Apakah penggunaan peranti ini akan berdasarkan penilaian risiko, jenis kesalahan, tahap ancaman atau hanya atas budi bicara pentadbiran semata-mata?
Tuan Yang di-Pertua, perkara kedua yang lebih membimbangkan ialah seksyen 46OA(2). Di bawah subseksyen ini, apabila Komisioner Jeneral membuat perintah di bawah subseksyen (1), “Komisioner Jeneral hendaklah menentukan terma dan syarat yang berhubungan dengan pemasangan, penggunaan, pengendalian, penyenggaraan dan pengalihan peranti pengawasan elektronik itu.” Pada zahirnya, ini kelihatan seperti peruntukan pentadbiran biasa tetapi kalau kita teliti, inilah pusat kuasa sebenar dalam keseluruhan Bahagian IVAA. Sebab apa?
Sebab akta ini tidak menghuraikan apakah terma, apakah bentuk terma dan syarat itu? Setakat manakah sekatan boleh dikenakan? Apakah had kuasa Komisioner Jeneral dan apakah perkara yang mesti atau tidak boleh dimasukkan sebagai syarat?
Adakah terma dan syarat itu boleh melibatkan had pergerakan, zon larangan, waktu keluar, waktu berhubung dengan individu tertentu, kewajipan pelaporan, kewajipan pengecasan dan penyenggaraan atau apa-apa sekatan lain yang memberi kesan langsung kepada kehidupan seseorang? Semua ini tidak dijelaskan dalam akta.
Maka pada saya, subseksyen (2) ini memberi budi bicara yang terlalu luas kepada pihak pentadbiran tanpa pagar undang-undang yang memadai. Kita tidak boleh membiarkan perkara ini menyentuh kebebasan seseorang dan membawa implikasi jenayah ditentukan hampir seluruhnya melalui syarat pentadbiran yang tidak dinyatakan secara jelas oleh Parlimen.
Tuan Yang di-Pertua, saya beralih kepada seksyen baharu 66A, sukarelawan. Perkara pertama yang saya ingin bangkitkan ialah subseksyen 66A(1).
Peruntukan ini memberi kuasa kepada Komisioner Jeneral untuk melantik apa-apa bilangan sukarelawan sebagaimana yang diperlu bagi membantu pegawai penjara melaksanakan apa-apa program pemulihan di bawah akta ini.
Pada zahirnya, peruntukan ini nampak fleksibel tetapi pada hemat saya, frasa “apa-apa bilangan sukarelawan” dan “apa-apa program pemulihan” ini terlalu luas dan membuka ruang budi bicara yang sangat besar tanpa kerangka yang memadai dalam akta.
Soalnya, siapakah sukarelawan yang dimaksudkan? Adakah mereka terdiri daripada kaunselor, agamawan, NGO, pakar psikologi, bekas pegawai penjara, tenaga pengajar kemahiran atau mana-mana individu yang menawarkan diri?
Adakah mereka perlu melalui tapisan keselamatan, semakan rekod jenayah, latihan asas, penilaian kesesuaian atau kod etika tertentu sebelum dibenarkan berurusan dengan banduan?
Dan apakah yang dimaksudkan dengan “apa-apa program pemulihan”?
Adakah ia terhad kepada ceramah, motivasi dan kerohanian atau meliputi kaunseling, pembangunan keluarga, latihan pekerjaan dan intervensi yang lebih mendalam terhadap banduan?
Saya berpandangan bahawa kalau kerajaan mahu membuka ruang penglibatan sukarelawan dalam sistem penjara, maka akta ini atau sekurang- kurangnya peraturan di bawahnya perlu menjelaskan standard minimum kelayakan, tapisan, latihan dan skop peranan sukarelawan. Kalau tidak, kita sedang membuka pintu yang sangat luas kepada penglibatan pihak luar tetapi tanpa jaminan yang cukup dari sudut keselamatan, profesionalisme, kerahsiaan, perlindungan terhadap banduan itu sendiri.
Tuan Yang di-Pertua, perkara kedua yang saya ingin sentuh ialah subseksyen 66A(3). Di bawah subseksyen ini, seorang sukarelawan “boleh dibayar apa-apa elaun sebagaimana yang ditentukan oleh Menteri selepas berunding dengan Menteri Kewangan.” Tetapi pada masa yang sama, “tidak berhak kepada apa-apa saraan.” Pada pandangan saya, peruntukan ini memerlukan penjelasan yang lebih teliti kerana ia menyentuh model sebenar sukarelawan yang ingin diwujudkan oleh kerajaan. Saya ingin mendapatkan kepastian, apakah skop elaun yang dimaksudkan? Adakah ia hanya untuk menampung kos perjalanan, makan minum, penginapan dan logistik atau adakah elaun ini boleh berkembang sehingga secara praktiknya menjadi satu bentuk bayaran perkhidmatan?
Jika seseorang dipanggil sukarelawan tetapi menerima elaun yang besar dan menjalankan fungsi substantif dalam program pemulihan maka persoalannya, adakah kita benar-benar mewujudkan sukarelawan atau kita sedang mewujudkan satu bentuk tenaga kerja separa formal tanpa perlindungan dan tanpa standard pengambilan yang jelas?
Di sinilah saya melihat satu persoalan dasar yang lebih besar. Adakah seksyen 66A ini diwujudkan semata-mata untuk memperkukuhkan penglibatan komuniti dalam pemulihan banduan yang saya boleh sokong atau adakah ia juga secara tidak langsung menjadi jalan untuk menampung kekurangan tenaga kerja profesional dalam sistem penjara seperti kaunselor, pegawai psikologi, pegawai agama, pekerja sosial atau tenaga pengajar kemahiran?
Dr. Ahmad Fakhruddin bin Fakhrurazi - Kuala Kedah
Saya ingin tegaskan, bahawa sukarelawan sepatutnya menjadi pelengkap kepada sistem pemulihan, bukannya pengganti kepada tanggungjawab kerajaan untuk menyediakan tenaga profesional yang mencukupi. Kalau elaun hendak dibayar, maka kerajaan juga perlu menjelaskan kadar, kaedah, kelayakan, rekod kehadiran, penilaian, prestasi dan mekanisme audit, supaya pelantikan sukarelawan tidak menjadi ruang yang kabur dari sudut pentadbiran, urus kewangan dan akauntabiliti. Sekian, terima kasih Dato' Yang di-Pertua.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Terima kasih Yang Berhormat Kuala Kedah. Berikut dipersilakan Yang Berhormat Jelutong.
Tuan Sanisvara Nethaji Rayer a/l Rajaji - Jelutong
Terima kasih Timbalan Speaker, di atas peluang diberikan. Saya ingin menyentuh juga peruntukan Seksyen 63(A). Sebagai seorang Ahli Parlimen dan juga pengamal undang-undang, saya mendapati bahawa peruntukan ini adalah peruntukan yang tidak seharusnya diluluskan oleh Dewan yang mulia ini, terutamanya selepas laporan yang dibuat oleh Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) baru-baru ini, oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia berkenaan dengan satu kejadian yang berlaku pada 17 Januari 2025 yang menimpa mendiang Gan Chin Eng di Penjara Taiping.
Saya merasakan bahawa peruntukan ini dalam bahasa Inggeris, dalam pengamalan undang-undang kita ada satu defense yang dipanggil Superior Order.
Timbalan Speaker juga pernah menjadi seorang pendakwa di mahkamah dahulu, di mana kalau kita memberi kekebalan ini kepada anggota-anggota penjara, Ahli-ahli Parlimen pun tidak mempunyai kekebalan seperti ini.
Di mana kalau mereka bertindak, peruntukan 63A memperuntukkan, jika perbuatan kecuaian atau keingkaran itu telah dibuat atau dilakukan olehnya dengan suci hati dan dengan mempercayai semunasabahnya, ia perlu bagi maksud yang diniatkan untuk dicapai melaluinya dan bagi melaksanakan peruntukan akta ini.
Kalau seseorang pegawai anggota penjara, melakukan sesuatu dan mengatakan beliau menerima arahan itu daripada Commissioner General sama ada melalui surat, sama ada melalui panggilan telefon ataupun melalui pesanan WhatApps dan beliau melaksanakan tugasan tersebut. Kalau ia melibatkan kematian, kecederaan, maka beliau tidak boleh diambil sebarang tindakan.
Bayangkan, dalam laporan SUHAKAM baru-baru ini, telah dinyatakan dalam laporan tersebut dalam kejadian pada 17 Januari 2025, kakitangan penjara telah menyalahgunakan senjata dan peralatan keselamatan seperti cota dan semburan lada. Saya ulangi, kakitangan penjara telah menyalahgunakan senjata dan peralatan keselamatan seperti cota dan semburan lada.
Kecuaian dan ketidakcekapan pegawai atasan Penjara Taiping. Di antara dapatan-dapatan ini juga dilaporkan, terdapat tempoh penahanan banduan reman yang lama, masalah kesesakan yang serius di Penjara Taiping dan terdapat unsur penipuan berkenaan dokumentasi rekod perubatan.
Bayangkan kalau semua perkara-perkara ini telah dilaporkan Timbalan Speaker, sebagai seorang pegawai kanan anggota PDRM dan sebagai seorang pendakwa raya di mahkamah, memang sudah tentu mereka akan juga menggunakan peruntukan seksyen 63A. Masih ada lagi perkara-perkara serius yang masih belum ditangani oleh KDN.
Kes tembakan melibatkan tiga individu India, warganegara Malaysia di Durian Tunggal sehingga hari ini tidak ada sebarang jawapan diberikan oleh Kementerian Dalam Negeri. Sehingga Menteri Digital, Menteri-menteri Kerajaan MADANI telah berulang kali mempersoalkan, apakah hasilnya?
Ini melibatkan kejadian tembakan yang berlaku di Durian Tunggal Melaka, tak ada jawapan. Saya takut Timbalan Speaker, saya takutlah kalau undang-undang ini diluluskan, semuanya akan menjadi salah parti DAP. Bayangkan hujan, salah DAP, tak hujan salah DAP, guruh salah DAP, tak guruh salah DAP, boleh masuk FELDA salah DAP, tak boleh masuk FELDA,salah DAP juga. Bayangkan.
[Tepuk] Tapi di sini saya bersyukur tadi Timbalan Speaker, Timbalan Perdana Menteri telah menjemput kami Ahli-ahli Parlimen DAP, UMNO duduk semeja, makan tengah hari tak ada masalah. Cuma di Johor yang masalah. Jadi, saya nak beritahu Timbalan Speaker, undang-undang ini tidak boleh diluluskan kerana parti DAP akan disalahkan. Semua akan menjadi salah DAP. Macam saya kata tadi, hujan, salah DAP, tak hujan salah DAP, banjir salah DAP, tak banjir salah DAP, boleh masuk FELDA salah DAP, tak boleh masuk FELDA pun salah DAP.
Timbalan Speaker, saya ingin mengingati Kerajaan MADANI. Reformasi ini bermula apabila, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri menjadi mangsa keganasan seorang Inspector General of Police, Ketua Polis Negara, akibat beliau ditumbuk di mata. Kejadian ini berleluasa. Banyak sangat yang berlaku dan kita sekarang masih lagi belum memberi jawapan. Hanya seorang sahaja pegawai Penjara Taiping dituduh.
Bayangkan kalau undang-undang ini digubal dan diluluskan oleh Dewan yang mulia ini, banyak lagi kejadian akan berlaku. Keluarga-keluarga mangsa yang dibelasah, yang dipukul dalam penjara, kita yang bertanggungjawab, kita perlu bertanggungjawab. Jadi, saya sebagai Ahli Parlimen backbenchers menyeru dengan rendah diri supaya undang-undang ini dihantar balik kepada jawatankuasa. Banyak lagi perlu dijawab oleh Kementerian Dalam Negeri. Kejadian Durian Tunggal sehingga hari ini belum lagi dijawab, kejadian melibatkan anggota-anggota polis yang menembak tiga individu itu, belum lagi dijawab.
Jadi saya minta supaya undang-undang ini dirujuk kembali kepada jawatankuasa untuk kita perhalusi dan bincangkan semula. Sekian, terima kasih Timbalan Speaker. Salam perpaduan, salam Malaysia MADANI.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Terima kasih Yang Berhormat Jelutong. Berikut, dipersilakan Yang Berhormat Maran.
Dato’ Sri Dr. Haji Ismail bin Abd Muttalib - Maran
*Bismillahirahmanirahim.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,* salam sejahtera. Terima kasih Dato' Yang di-Pertua kerana izinkan saya untuk turut membahaskan Rang Undang- undang Penjara (Pindaan) 2026, Akta Penjara 1995. Secara prinsipnya, saya tidak menolak usaha kerajaan untuk memperkemaskan sistem penjara negara.
Penjara bukan sekadar tempat menghukum. Penjara sepatutnya menjadi institusi pemulihan dan pendidikan baru, pembentukan semula akhlak, latihan kemahiran dan persediaan seseorang untuk kembali ke pangkuan masyarakat serta menginsafi kehidupan yang mereka lakukan.
Dalam hal penjara, perkara ini lebih serius kerana banduan, orang dalam perintah parol dan mereka yang berada dalam jagaan penjara ialah kelompok yang sangat lemah kedudukannya berbanding pihak berkuasa.
Dato' Yang di-Pertua, di sebalik tirai besi, ada manusia yang pernah tersilap langkah. Ada yang datang daripada keluarga yang bermasalah, ada yang gagal kerana kemiskinan, ketagihan, tekanan hidup sehingga akhirnya membuat pilihan yang salah. Walau apa pun yang berlaku, mereka tetap perlu bertanggungjawab atas kesalahan mereka. Manakala tanggungjawab negara pula ialah memastikan hukuman tidak memusnahkan harapan untuk berubah.
Kalau kesilapan yang mereka lakukan mungkin kerana kesilapan kerajaan dan kita semua mengabaikan keadaan dan nasib hidup mereka, mungkin dosa dan kesilapan yang dilakukan oleh sebahagian banduan adalah juga merupakan dosa dan kesilapan kita.
Dato' Yang di-Pertua, sebab itu saya ingin fokus kepada tiga perkara dalam rang undang-undang ini. Pertama ialah perlindungan terhadap guaman dan prosiding undang-undang yang terlalu luas. Kedua, pelantikan sukarelawan yang baik dari segi pemulihan tetapi terlalu longgar dari sudut tapisan dan akauntabiliti.
Ketiga ialah kerja banduan secara individu yang perlu dikawal supaya tidak menjadi hukuman tersembunyi.
Dato' Yang di-Pertua, pertama saya menyentuh fasal 10 yang memasukkan seksyen baru 63A. Peruntukan ini memberikan imuniti undang-undang kepada pegawai penjara daripada dakwaan mahkamah bagi tindakan yang dibuat atas arahan commissioner general secara suci hati dan munasabah.
Saya faham rasionalnya. Pegawai penjara menjalankan tugas yang sangat berat. Mereka mengurus keselamatan, disiplin, konflik emosi, kesihatan dan pemulihan dalam satu institusi yang sangat mencabar. Mereka tidak wajar diganggu oleh tindakan undang-undang yang remeh apabila bertindak secara sah dan munasabah.
Dato’ Sri Dr. Haji Ismail bin Abd Muttalib - Maran
Kita perlu ingat di dalam penjara, akses kepada keadilan tidak mudah, banduan tidak bebas mengumpul bukti, mereka tidak mudah mendapatkan saksi.
Mereka tidak sentiasa mempunyai akses kepada nasihat guaman. Kalau peruntukan imuniti ini terlalu, ia bukan sahaja melindungi pegawai yang jujur, tetapi berisiko menyukarkan tindakan terhadap kecuaian yang serius.
Soalan saya kepada Yang Berhormat Menteri, adakah kerajaan bersedia memasukkan pengecualian yang lebih jelas di mana perlindungan ini tidak terpakai jika berlaku kecuaian berat, salah guna kuasa, tindakan melulu, penderaan, pelanggaran prosedur wajib dan pelanggaran hak yang serius.
Soalan kedua, apakah mekanisme aduan bebas yang tersedia kepada banduan atau keluarga mereka jika berlaku salah laku dalam penjara? Adakah aduan ini hanya disemak secara dalaman atau ada laluan kepada banduan, badan bebas supaya siasatan lebih dilakukan?
Dato’ Yang di-Pertua, perkara kedua ialah fasal berkaitan pelantikan sukarelawan. Saya menyokong semangat pindaan ini. Pemulihan banduan tidak boleh ditanggung oleh pegawai penjara semata-mata. Oleh itu Dato’ Yang di-Pertua, saya juga ingin mencadangkan agar penglibatan NGO, sukarelawan ini bukan sahaja melibatkan NGO dan sukarelawan biasa tetapi perlu diperluaskan kepada pihak- pihak berwajib, bahkan kerajaan sendiri juga orang-orang kenamaan sebagai petanda bahawa kita tidak memusuhi banduan, tidak membenci mereka, tidak menghina mereka, tetapi banduan adalah orang yang harus kita bela masa depan mereka.
Saya amat terharu dengan berbangga dengan contoh mulia yang ditunjukkan oleh Kebawah Duli Baginda Tengku Ampuan Pahang yang sentiasa mendampingi penjara. Dato’ Yang di-Pertua, sebagai contoh baginda berangkat melawat dan bertemu dengan warga penjara termasuk banduan. Umpamanya di Penjara Tapah, Penjara Seberang Perai, Penjara Pulau Pinang, Penjara Penor dan lain-lain. Malah, Paduka Baginda Tuanku juga sanggup menjalankan beberapa aktiviti yang mulia bagi membela masa depan banduan dan juga warga penjara.
Umpamanya Penaung Diraja Seni dan Kraf Jabatan Penjara Malaysia, program masakan bersama para banduan, lawatan kraf menjadi rutin tuanku berangkat melawat banduan-banduan dari penjara tempatan, Penjara Penor, Penjara Bentong dan juga Penjara Puncak Borneo.
Dato’ Yang di-Pertua, saya juga ingin menekankan sekali lagi supaya perkara ini, cadangan pindaan rang undang-undang ini mestilah diperhatikan dan diperhalusi supaya tidak akan berlaku ketidakadilan yang dilakukan oleh sama ada anggota dan tenaga di penjara.
Sebab itulah saya mencadangkan supaya undang-undang ini kalau perlu dibincangkan semula, dibahaskan semula, diteliti semua bagi kita memastikan supaya bukan sahaja kita mendapat mewujudkan keadilan dalam melaksanakan undang-undang, tetapi dalam masa yang sama, kita harus membela masa depan dan nasib banduan-banduan yang telah melakukan kesilapan kerana kadang- kadang kesilapan yang mereka lakukan adalah juga disebabkan oleh kesilapan dan kecuaian kita sendiri.
Maka Dato’ Yang di-Pertua, sebelum saya berakhir, saya mencadangkan sekali lagi supaya undang-undang ini, cadangan pindaan rang undang-undang diteliti dan dibahaskan semula dan tidak diluluskan lagi sehingga kita dapat persetujuan yang lebih baik demi membina masa depan keadilan dalam negara kita. Terima kasih Dato’ Yang di-Pertua.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Terima kasih Yang Berhormat Maran. Selanjut dipersilakan Yang Berhormat Selayang.
Tuan William Leong Jee Keen - Selayang
Terima kasih Yang Berhormat Speaker. Saya merujuk kepada seksyen baru 63A. Saya meminta seksyen ini dirujukkan kepada Jawatankuasa Pilihan Khas untuk meneliti, meminda dan menghalusi seksyen ini.
Di Malaysia, mahkamah tidak menerima pembelaan superior orders di dalam kes mahkamah rayuan Ngeaw Voon Yen melawan Sungai Wang Plaza Sdn. Bhd dilaporkan tahun 2004 1 MLJ 512. Hakim Richard Malanjum berkata dengan izin, superior order is not a defence. If the orders carried out was to do something illegal or wrongful. Kehakiman kes mungkin public prosecutor melawan Ahmad Syukri bin Osman dilaporkan 2015 10 MLJ muka surat 236 adalah sama dengan izin.
Hakim berkata, obedience for an illegal order can only be used in mitigation but cannot be used as a complete defence. Dengan izin, for all practical purpose, the amendment confers immunity on the prisoner officers. The absolute immunity for public officers has no place in a progressive democratic society and it’s contrary to the rule of law. Pindaan ini juga menimbulkan kebimbangan berkaitan akauntabiliti dan pengawasan terhadap sistem penjara dan mereka yang mentadbirnya.
Kebimbangan ini timbul memandangkan terdapat beberapa kes kematian dalam penjara serta insiden rusuhan yang berlaku baru-baru ini di Penjara Taiping di mana kawan-kawan saya telah menyentuhkan perkara ini.
Perkara yang kedua ialah tentang peranti pemantauan elektronik (EMD).
Apakah sebab tahanan yang dibebaskan secara berlesen di bawah seksyen 43 dan di parol di bawah seksyen 46H sekarang diwajibkan untuk memakai peranti pemantauan elektronik kerana mereka diberikan lesen dan parol atas pemulihan dan rehabilitasi bahawa penilaian ialah mereka tidak lagi menjadi satu risiko kepada masyarakat.
Kalau mereka layak, apa sebab mereka perlu dibebankan dengan memakai EMD? Kalau mereka tidak layak, maknanya tidak dapat dilepaskan, EMD itu tidak akan memberikan apa bantuan kepada mereka kalau mereka masih menjadi satu risiko kepada masyarakat.
Kalau EMD digunakan untuk memberikan lebih orang lesen dilepaskan atau diparol untuk mengurangkan kesesakan di penjara, kita tidak boleh bergantung kepada EMD, peralatan ini kerana kita tahu adanya masalah sebagai satu jenis peranti bateri tidak ada, GPS connectivity yang tidak ada dan berbagai-bagai masalah di mana EMD itu tidak dapat dilakukan.
Oleh sebab itu, kalau itu adalah sebab, saya meminta pentadbiran untuk melakukan semula tentang perkara ini. Kita juga hendak melihat bahawa EMD ini bila dipakai, rakyat di luar akan melihat bahawa orang itu masih adalah satu banduan, prisoner. Ini menjadikan satu tanda dan memberikan satu halangan kepada mereka untuk mencari kerja atau berintegrasi balik semula ke dalam masyarakat. Dan kalau ini berlaku, maknanya objektif untuk melepaskan mereka akan gagal. Sekian, terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Terima kasih Yang Berhormat Selayang. Dipersilakan Yang Berhormat Tumpat.
Dato’ Hajah Mumtaz binti Md Nawi - Tumpat
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, terima kasih Dato’ Yang di-Pertua.
Saya merujuk kepada pindaan seksyen 2 di mana menyebut tentang perubahan kepada jawatan dalam Jabatan Penjara iaitu pegawai rendah penjara kepada Sub Inspektor Penjara dengan menggantikan kepada Ketua Sub Inspektor Penjara.
Isu yang ingin saya bangkitkan di sini adalah berkenaan dengan ketidaksamaan ataupun ketidakseragaman antara pegawai-pegawai penjara dan pegawai-pegawai beruniform lain di bawah KDN. Saya difahamkan oleh pegawai- pegawai penjara bahawa sekiranya mereka masuk menjadi pegawai penjara berbanding sekiranya mereka terlibat dalam PDRM, kenaikan mereka mengikut time- based adalah tidak sama.
Jadi, ini perlu diperhatikan kerana kita tahu bahawa di penjara merupakan risiko yang lebih tinggi berbanding dengan jawatan-jawatan yang lain. Kerana kita tahu dalam penjara juga kita perlukan banyak kerja yang perlu dibuat kerana yang dijaga ini bukanlah orang biasa tapi orang yang telah pun melakukan kesalahan.
Dato’ Hajah Mumtaz binti Md Nawi - Tumpat
Jadi, kalau di universiti untuk dapatkan biasiswa kenalah betul-betul cemerlang baru dapat biasiswa tapi di penjara semuanya ditanggung oleh kerajaan.
Maka, kepentingan untuk menjaga kebajikan pegawai dan banduan ini sama-sama penting kerana kita telah pun invest sesuatu yang sangat besar. Itu yang pertama.
Yang kedua berkenaan pindaan seksyen 13 menyebut tentang mana-mana penjara. Saya ingin bertanya tentang perkembangan untuk penjara di Kelantan iaitu di Kota Bharu, adakah akan dibuat perubahan dengan kadar segera kerana kita tahu bahawa setakat ini kerajaan menyebut bahawa tidak akan ada pembinaan penjara yang baru? Jadi, dari segi kemudahan adakah dinaik taraf kerana kita tengok beberapa tempat ini sangatlah tidak sesuai untuk dihuni lagi atau pun dijadikan penjara?
Yang seterusnya berkaitan dengan kapasiti building. Bila disebut tentang pegawai penjara kita tengok di kalau di IPG ada beberapa tahun belajar baru boleh jadi cikgu. Tapi kalau untuk jadi pegawai penjara disebut dalam sini tentang Pusat Latihan Pegawai Penjara. Saya ingin tahu, berapa lama-kah mereka ini akan dilatih sebelum dapat bertemu ataupun menjadi warden ataupun pegawai penjara yang efektif kepada rakyat?
Seterusnya, berkenaan dengan penggunaan peranti EMD. Saya menyokong teknologi ini. Walau bagaimanapun, saya ingin mendapatkan penjelasan mengenai mekanisme pelaksanaan, perlindungan data peribadi, kos operasi dan ukuran keberkesanannya kerana kita tahu bahawa perkara ini memerlukan satu kos pemantauan yang lebih terperinci.
Yang seterusnya berkenaan dengan seksyen 63. Saya setuju dengan semua rakan-rakan bahawa sekalipun kita percaya bahawa pegawai penjara akan menjalankan tugas dengan jujur tetapi meletakkan imuniti terlalu luas ini akan membuka ruang kepada salah guna kuasa, kecuaian serius dan juga pelanggaran hak. Jadi, dalam hal ini saya setuju agar ia nya dirujuk balik kepada jawatankuasa untuk dilihat kerana kita tidak boleh membuka ruang seluas ini kepada mana-mana pegawai termasuklah pegawai penjara.
Yang seterusnya berkaitan dengan kebajikan penghuni penjara iaitu wanita.
Ada laporan yang kita dapat selepas satu program bersama dengan SUHAKAM bincang tentang menstruasi punya poverty. Dimaklumkan bahawa dalam penjara, pad yang diberikan kepada banduan adalah sama dan ada satu penjara telah mengambil inisiatif membuat atau mempunyai satu kilang sendiri untuk menghasilkan pad.
Walau bagaimanapun, dimaklumkan mesin tersebut telah pun rosak dan belum dibaiki. Saya mengharapkan agar ini dapat dibaiki dengan segera kerana keperluan untuk perkara seperti ini adalah perlu kerana keperluan antara satu banduan dengan banduan lain tidak sama.
Begitu juga dengan hak menutup aurat. Baru-baru ini satu kes berlaku di Kelantan. Seorang guru telah terlanggar secara tak sengaja menyebabkan kematian seorang pelajar. Ketika dibawa ke Mahkamah kita melihat bahawa guru tersebut yang memakai tudung labuh tidak dapat memakai baju yang berlengan panjang.
Jadi, kita tengok dalam hal ini ia perlu satu SOP yang jelas supaya semua banduan atau pun tahanan atau pun tertuduh diberikan ruang untuk menjaga aurat mereka, maka SOP baru perlu diperkenalkan. Bukan hanya beri ketika minta ataupun kalau tempat tersebut sedia, maka boleh. Kalau tak sedia, tak boleh.
Jadi, ini perkara yang bagi saya asas sebagaimana kita di hospital kita boleh tutup aurat, kita di penjara juga. Makna mana-mana orang yang dituduh juga berhak untuk menutup aurat mereka kerana mereka belum lagi disahkan salah ataupun kalau disahkan salah pun hak mereka untuk menutup aurat ini merupakan satu hak yang perlu dijaga oleh pihak kerajaan.
Begitu juga dengan keluarga banduan. Kita difahamkan bahawa bila masuk penjara ini kebiasaannya JKM akan cover untuk bantu keluarga banduan. Walau bagaimanapun, bila kita melihat, kita turun sebagai Jawatankuasa Wanita dan juga Keluarga turun ke lapangan didapati bahawa bukan semua dan tidak wajib bagi mana-mana banduan untuk memaklumkan kepada penjara nama orang yang ditanggung olehnya.
Maka dengan itu, sekiranya mereka tidak diberitahu, keluarga pun tak tahu dia hilang ke mana mereka tidak minta permohonan. Jadi, di dalam hal ini saya mohon supaya pihak penjara dengan JKM diberikan akses supaya ada notifikasi automatik di antara pegawai penjara dan JKM supaya anak-anak mereka yang dipenjarakan ini dapat dibantu oleh kerajaan dengan cara yang terbaik.
Seterusnya berkenaan dengan penyelarasan pendidikan. Ada penjara di Kelantan di Machang dibuat tahfiz, ramai yang berjaya, alhamdulillah. Saya ingin tanya apakah tahfiz ini juga dapat diimplikasikan kepada banduan-banduan wanita begitu juga dengan notifikasi ataupun akreditasi untuk TVET.
Kita tengok di penjara banyak latihan-latihan diberikan kepada banduan- banduan. Jadi, kalau kita dah bagi parol kepada mereka, mereka dapat lesen, mereka boleh keluar, mereka diharapkan untuk balik kepada masyarakat. Maka, sepatutnyalah TVET dapat diperkenalkan dengan cara lebih proper supaya mereka dapat menjadi orang yang lebih dapat bekerja pada masa akan datang.
Dan yang terakhir berkenaan dengan― kita dimaklumkan, kita telah melawat di pusat koreksional di Shah Alam. Ada rombongan daripada luar negara datang melihat penjara kita melihat rakyat mereka. Jadi, mereka boleh beri komen, mereka boleh tengok perkembangan. Jadi, saya nak tanya adakah ini juga kita terpakai?
Adakah pemimpin kita juga pergi untuk melihat penjara di luar negara yang dihuni oleh rakyat kita supaya kita dapat satu perkara yang kita kira win-win atau pun sama-sama melihat kerana tak adillah mereka datang untuk lihat kita tapi kita tak dapat untuk melihat mereka dan ini perlu diberikan ruang kerana kita juga percaya rakyat kita di luar negara mungkin ada yang dipenjarakan ataupun dituduh yang memerlukan juga pembelaan daripada negara kita.
Dan yang seterusnya berkenaan dengan tadi disebut oleh Maran berkenaan dengan produk keluaran penjara. Penjara banyak mengeluarkan produk-produk yang bagus. Walau bagaimanapun, dari segi pasaran saya tak nampak ia agak agresif.
Jadi, kalaulah dapat dibantu supaya pengeluaran barang-barang penjara ini dapat dimanfaatkan ataupun dapat diberikan marketing yang lebih bagus supaya ia boleh membantu penjara dan juga apa tu, produk-produk dapat digunakan oleh rakyat Malaysia dengan cara lebih baik kerana kita percaya untuk menjadikan seorang banduan itu benar-benar bagus, ia bukan hanya memerlukan seorang pegawai penjara tapi memerlukan keseluruhan masyarakat untuk sama-sama membantu mereka. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Terima kasih Yang Berhormat. Dipersila Yang Berhormat Sri Aman.
Dato’ Sri Doris Sophia anak Brodi - Sri Aman
Terima kasih Tuan Yang di- Pertua. Sri Aman faham bahawa kerajaan ataupun pihak kementerian memang berusaha memperkukuhkan sistem pemulihan banduan terutama sekali melalui pengenalan peranti pengawasan elektronik serta penglibatan sukarelawan dalam program pemulihan melalui RUU ini iaitu Akta Penjara (Pindaan) 2026.
Namun begitu, Sri Aman berpandangan bahawa kita perlu melihat pindaan ini dalam konteks yang lebih besar ataupun dalam konteks yang lebih kompleks iaitu cabaran sebenar yang sedang dihadapi oleh sistem penjara negara kita hari ini dan persepsi rakyat sekiranya RUU ini diluluskan.
Tuan Yang di-Pertua, hakikatnya penjara-penjara di Malaysia memang sudah berhadapan dengan masalah kesesakan yang amat serius. Mengikut beberapa laporan yang didapati sehingga November 2025, jumlah penghuni penjara telah mencecah lebih 80,000 orang sedangkan kapasiti rasmi penjara adalah sekitar 76,000 orang. Ini bermakna, sistem penjara kita amat tenat dan beroperasi jauh melebihi kapasiti yang dirancang.
Selain itu hampir satu per tiga, satu per tiga daripada penghuni penjara merupakan tahanan reman yang masih belum disabitkan kesalahan oleh mahkamah.
Keadaan ini sudah tentu memberi tekanan yang besar kepada pegawai penjara, menjejaskan keselesaan dan keselamatan penghuni, meningkatkan risiko kesihatan serta mengehadkan keberkesanan program pemulihan yang menjadi matlamat utama sistem penjara moden.
Justeru, Sri Aman memahami bahawa selain memodenkan atau mereformasikan sistem penjara negara, salah satu rasional utama yang penting di sebalik cadangan penggunaan peranti pengawasan elektronik ini adalah untuk membantu, membantu mengurangkan kesesakan penjara dengan membolehkan banduan yang layak dipantau dalam komuniti tanpa perlu terus ditempatkan di dalam penjara.
Pendekatan ini saya percaya bukanlah sesuatu yang baru. Banyak negara maju seperti UK, Australia, Norway dan ramai lagi telah menggunakan sebagai sebahagian daripada strategi mengurangkan kesesakan penjara dan pada masa yang sama memberi peluang kepada pesalah berisiko rendah untuk menjalani proses pemulihan secara lebih berkesan atau pun efektif.
Jika peranti pengawasan elektronik ini diperkenalkan sebagai sebahagian daripada reformasi sistem keadilan jenayah negara, maka kita perlu memastikan ia dilaksanakan dengan baik dan betul mengambil kira aspek keselamatan, privasi, kos, akauntabiliti dan keberkesanan secara menyeluruh. Namun demikian, Sri Aman ingin mendapatkan beberapa penjelasan dari pihak Kementerian.
Pertama, adakah cadangan penggunaan peranti pengawasan elektronik ini telah dinilai secara menyeluruh dari sudut keselamatan dan keberkesanannya?
Kedua, apakah mekanisme yang akan digunakan sekira peranti tersebut dipotong, dirosakkan ataupun hilang atau pun gagal berfungsi. Sekiranya ini berlaku, what’s the respond time? Okey. Atau berapa pantas-kah pihak berkuasa boleh mengesan pelanggaran tersebut dan mengambil tindakan sewajarnya?
Seterusnya, Sri Aman menyentuh soal perlindungan data peribadi yang Sri Aman anggap amat penting. Pada kefahaman Sri Aman, peranti ini berupaya merekodkan lokasi dan pergerakan seseorang secara berterusan. Oleh itu, apakah jaminan kerajaan bahawa data tersebut akan dilindungi dengan baik, tidak disalahgunakan dan hanya diakses oleh pihak yang diberi kuasa sahaja bagi menjaminkan privasi seseorang itu?
Dato’ Sri Doris Sophia anak Brodi - Sri Aman
Seterusnya, siapakah yang akan menyimpan data tersebut? Siapakah yang akan menyelenggara sekiranya peranti itu rosak? Berapa lamakah data itu akan disimpan? Dan adakah audit keselamatan siber akan dilaksanakan secara berkala?
Selain itu, adakah penggunaan pengawasan elektronik ini akan diguna secara menyeluruh termasuk di Sarawak dan Sabah dan mengambil kira geographical landskap kita di sana serta keluasan kedua-dua wilayah tersebut?
Tuan Yang di-Pertua, Sri Aman juga ingin mengetahui implikasi kewangan pelaksanaan sistem ini kerana RUU ini dalam fasal 12 sendiri menyatakan bahawa ia akan melibatkan perbelanjaan tambahan kerajaan yang amaunnya masih belum dapat ditentukan. Setidak-tidaknya bolehkah pihak kementerian memberi anggaran kos yang dijangka ditanggung kerajaan bagi perolehan peranti, penyelenggaraan sistem pemantauan, latihan pegawai dan pengurusan data agar kita mendapat gambaran yang lebih jelas.
Sedikit masa lagi, Tuan Yang di-Pertua. Selain itu, adakah kerajaan telah menjalankan analisis kos faedah bagi memastikan pendekatan ini benar-benar lebih berkesan dan lebih menjimatkan berbanding menambah kapasiti penjara secara konvensional.
Tuan Yang di-Pertua, menyentuh seksyen 63A. Sri Aman juga sependapat dengan rakan-rakan yang lain yang telah dulu berbahas. Sri Aman amat bimbang seksyen 63A ini secara tidak langsung boleh menghantar mesej bahawa selagi seseorang bertindak atas arahan, maka beliau kebal daripada tindakan undang- undang. Jika itu persepsinya, maka kita sedang bergerak ke arah budaya ikut arahan dahulu, soal akauntabiliti kemudian, selain menampakkan RUU ini adalah undang- undang drakonian atau regressive law.
Prinsip tersebut amat berbahaya dalam mana-mana institusi awam. Kuasa tanpa semak imbang bukanlah reformasi, tetapi risiko pada tadbir urus yang baik.
Oleh itu, apakah jaminan kerajaan bahawa seksyen ini tidak menjadi blank check― I repeat, blank check― kepada mana-mana pihak untuk berlindung di sebalik arahan pentadbiran apabila berlaku salah laku oleh kecuaian?
Jadi, seperti rakan-rakan YB yang telah dulu berbahas, saya juga mencadangkan agar RUU ini diteliti betul-betul dan sebaiknya dirujuk pada pihak jawatankuasa pilihan khas. Selain itu, Sri Aman juga mengesyorkan agar pihak kementerian, sebaik yang boleh― Pertama, membentangkan laporan tahunan kepada Parlimen mengenai tahap kesesakan penjara dan keberkesanan penggunaan peranti pengawasan elektronik.
Kedua, menetapkan garis panduan yang jelas mengenai perlindungan data peribadi dan keselamatan siber.
Ketiga, melaksanakan penilaian berkala terhadap keberkesanan sistem ini dari segi pengurangan kadar kesesakan penjara, kadar jenayah berulang dan kos operasi.
Keempat, memperkukuhkan lagi program pemulihan, latihan kemahiran dan peluang pekerjaan supaya bekas banduan dapat kembali menjadi anggota masyarakat yang produktif Akhir sekali, Sri Aman ingin menegaskan bahawa kejayaan sistem penjara tidak seharusnya diukur berdasarkan berapa ramai yang dipenjarakan, tetapi berapa ramai yang berjaya dipulihkan kembali kepada masyarakat dan tidak mengulangi kesalahan mereka.
Sekian, terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato' Dr. Ramli bin Dato' Mohd Nor
Terima kasih Yang Berhormat. Berikut, saya persilakan Yang Berhormat Sabak Bernam.
Tuan Kalam bin Salan - Sabak Bernam
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua kerana memberi ruang kepada saya untuk mengambil bahagian dalam perbahasan Rang Undang-undang Penjara
(Pindaan) 2026.
Pada asasnya, saya menyokong usaha kerajaan untuk memperkukuhkan sistem penjara negara agar lebih menumpukan kepada pemulihan, bukan semata- mata hukuman. Penjara bukanlah tempat untuk menghasilkan pelanggan tetap― masuk keluar, masuk keluar, masuk keluar penjara― sebaliknya tempat melahirkan insan yang insaf dan mampu kembali menjadi anggota masyarakat yang berguna.
Tuan Yang di-Pertua, saya melihat cadangan seksyen baharu 66A sebagai satu langkah yang baik. Kuasa kepada Komisioner Jeneral untuk melantik sukarelawan membuka ruang kepada NGO, agamawan, kaunselor, ahli akademik dan pemain industri untuk membantu proses pemulihan banduan. Tetapi, perlu diteliti kelayakan-kelayakan dan juga bentuk-bentuk imbuhan yang diberikan kepada pemegang taruh yang saya sebutkan tadi.
Hakikatnya, seorang pegawai penjara mungkin mampu menjaga disiplin, tetapi seluruh masyarakat perlu membantu membina harapan. Ada kalanya nasihat guru, imam, ustaz, paderi, sami, usahawan berjaya atau bekas banduan yang telah berubah mampu menyentuh hati seorang lebih daripada tembok besi dan pagar berduri.
Tuan Yang di-Pertua, saya juga menyambut baik perluasan tafsiran banduan di bawah seksyen 43 yang membolehkan lebih ramai menjalani program pemulihan dalam komuniti ataupun parol. Seksyen 46H. Pendekatan ini selaras dengan amalan moden di banyak negara yang memberi peluang kepada banduan menyesuaikan diri secara berperingkat sebelum kembali sepenuhnya kepada masyarakat.
Kita perlu akui bahawa cabaran sebenar bukan ketika seorang banduan berada di dalam penjara, tetapi ketika keluar penjara daripada pintu penjara. Di dalam penjara, makanan ada jadual, tidur ada jadual, bangun ada jadual. Tetapi apabila bebas, dia berhadapan dunia sebenar yang tidak mempunyai loceng amaran setiap masa. Sebab itu program pemulihan komuniti amat penting supaya proses peralihan berlaku dengan lebih tersusun.
Tuan Yang di-Pertua, saya turut melihat penggunaan peranti pengawasan elektronik sebagai langkah yang pragmatik. Teknologi boleh membantu memastikan banduan yang dilepaskan secara lesen mematuhi syarat yang ditetapkan. Namun, saya berharap penggunaannya bukan sekadar alat pemantauan tetapi sebahagian daripada sistem pemulihan yang menyeluruh. Matlamatnya bukan untuk menakutkan mereka yang telah insaf tetapi untuk memastikan mereka terus berada di landasan yang betul.
Dalam masa yang sama, saya menyokong tindakan kenaikan penalti am daripada RM500 kepada RM5,000 dan hukuman penjara daripada enam bulan kepada setahun. Nilai RM500 pada hari ini mungkin tidak lagi memberi kesan pencegahan yang mencukupi berbanding keadaan semasa.
Tuan Yang di-Pertua, walau bagaimanapun, kejayaan pindaan ini akhirnya tidak boleh diukur berdasarkan jumlah sukarelawan yang dilantik, jumlah peranti elektronik yang dipasang atau jumlah program yang dilaksanakan. Ukuran sebenar ialah berapa ramai bekas banduan yang berjaya mendapat pekerjaan, menyara keluarga, menjadi usahawan, menjadi ahli politik, menjadi pemimpin masyarakat dan tidak kembali melakukan jenayah yang berulang.
Kita mahu lihat bekas banduan pulang kepada aset negara, bukan kembali sebagai penghuni tetap penjara. Kalau seorang keluar daripada penjara dan akhirnya berjaya membuka perniagaan atau menggaji orang lain, itu kejayaan negara. Tetapi kalau dia keluar masuk penjara seperti pelanggan yang mengumpul mata ganjaran, maka ada sesuatu yang masih perlu diperbaiki.
Justeru, saya ingin mohon penjelasan daripada pihak kerajaan, adakah kerajaan mempunyai petunjuk prestasi (KPI) yang jelas untuk mengukur keberkesanan pelantikan sukarelawan di bawah seksyen 66A, program pemulihan komuniti di bawah seksyen 43 serta penggunaan peranti pengawasan elektronik dalam mengurangkan kadar kesalahan berulang dalam kalangan banduan yang dilepaskan secara lesen?
Dan juga, saya ingin menyentuh seksyen 63A yang memperuntukkan bahawa tiada tindakan guaman, pendakwaan atau prosiding lain boleh dibawa terhadap pegawai penjara atau mana-mana yang bertindak atas arahan Komisioner Jeneral.
Walaupun saya menjangkakan saya tak akan masuk penjara tetapi saya takut sekiranya 63A ini dilaksanakan, kerana tidak ada peruntukan kuasa perundangan yang boleh mendakwa pegawai penjara sekiranya melakukan perkara-perkara jenayah terhadap banduan-banduan. Dalam keadaan 63A ini belum dilaksanakan pun kita dengar banyak di sana-sini penjara berlaku jenayah-jenayah ataupun persoalan-persoalan yang belum dijawab lagi, apatah lagi sekiranya ini dilaksanakan.
Tuan Yang di-Pertua, mohon saya duduk. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato' Dr. Ramli bin Dato' Mohd Nor
Terima kasih, Yang Berhormat. Berikut, dipersilakan Yang Berhormat Seputeh.
Puan Teresa Kok Suh Sim - Seputeh
Terima kasih Dato’ Yang di-Pertua beri peluang saya untuk memberi sedikit pandangan terhadap pindaan terhadap Akta Penjara 1995.
Di sini saya nak bangkitkan, seperti apa yang rakan-rakan kita katakan tadi, masalah kesesakan melampau dipenjara, over crowding, memang adalah satu masalah yang sangat serius kerana kapasiti penjara kita sudah lama melepasi had maksimum. Dan keadaan ini juga menjadikan penjara kita tidak berperikemanusiaan dan juga membebankan kewangan kerajaan.
Puan Teresa Kok Suh Sim - Seputeh
Jadi, saya ingin tanya pihak kerajaan, kementerian sama ada kerajaan mempunyai perancangan untuk membina lebih penjara untuk menampung yang populasi banduan yang semakin menambah.
Saya juga ingin cadangkan walaupun kerajaan ada sistem macam program parolataupun perintah kehadiran wajib kepada banduan yang dilepaskan atau yang mana penjara rasa mereka boleh dibebaskan lebih awal, saya rasa adalah juga perlu bagi kerajaan untuk mungkin KDN ataupun pihak penjara untuk berjumpa dengan pihak mahkamah. Ataupun saya rasa ada Judicial Commissioner ataupun jawatankuasa seperti ini kerana kadang-kadang saya lihat hukuman yang dijatuhkan oleh pihak majistret, session court atas kesalahan yang sebenarnya tidak begitu serius yang hukuman dijatuhkan itu sangat panjang pemenjaraan.
Khususnya pada pandemik COVID, yang mana kita lihat yang semua orang tidak boleh keluar penjara yang pandemiknya yang COVID ini disebarkan dengan luas, tapi waktu itu semua hukuman dijatuhkan oleh pihak mahkamah memang sangat panjang pemenjaraannya. Jadi, sebenarnya ia tidak membantu keadaan kesesakan di dalam penjara. Mungkin yang dialog boleh diadakan di antara pihak penjara dengan pihak mahkamah supaya mereka lebih jelas tentang keadaan over crowding, kesesakan melampau dekat penjara.
Dato’ Pengerusi— Dato’ Yang di-Pertua, pada pandangan saya, pesalah kes dadah kes yang minor tidak harus dimasukkan kepada penjara secara terus tetapi mereka haruslah dihantar ke pusat pemulihan. Tapi juga pernah dengar sungutan daripada pegawai polis. Mereka kata kadang-kadang yang program parol itu bahkan macam diberikan dengan tanpa konsultasi dengan mereka yang pegawai polis lain yang terlibat. Jadi, kita lihat yang mereka yang pemilik dadah itu keluar masuk dibebaskan dengan sangat mudah. Jadi, saya berharap ini dijadikan yang pihak penjara juga harus saya lihat yang keadaan yang sebenar.
Dan saya nak cadangkan pihak penjara menggalakkan lebih guru agama, pekerja sosial untuk beri mereka masuk ke penjara dengan lebih peluang dibuka kepada mereka untuk membimbing dan juga memberi kaunseling ataupun motivasi kepada para banduan. Dan saya sebenarnya terima aduan juga daripada mereka yang keluar dari penjara, khususnya selepas kerajaan meminda undang-undang untuk bagi lebih yang sebenarnya nak dihukum mati, mereka dibebaskan oleh mahkamah. Jadi, ada yang sudah 20 lebih tahun di penjara, mereka keluar mereka memang berharap dapatnya satu tempat bagi mereka adakan pemulihan (halfway house). Tapi kita tak ada servis dari pihak kerajaan macam ni.
NGO nak buat tapi mereka juga tak tahu macam mana menghubung pihak penjara dengan NGO dan juga tak ada tempat yang untuk bagi mereka jadi halfway house untuk sementara sebelum mereka boleh balik ke pangkuan masyarakat. Saya ingin cadangkan pihak penjara juga atau pihak KDN juga untuk melihat keperluan yang— program integrasi— mengintegrasikan bekas banduan ke dalam masyarakat.
Akhirnya, saya ingin menyeru yang seksyen baharu 63A yang perlindungan terhadap guaman dan prosiding undang-undang yang mana tiada tindakan guaman, pendakwaan atau prosiding lain boleh dibawa, dimulakan atau dikekalkan dalam mana-mana mahkamah terhadap mana-mana pegawai penjara dan mana-mana orang lain. Yang perenggan ini saya tak mahu baca semua.
Saya ingin cadangkan ini ditarik balik oleh pihak KDN, oleh pihak kementerian ataupun yang seluruh RUU ini di pulang kepada pihak Jawatankuasa Pilihan Khas untuk kaji semula khususnya perenggan ini kerana ini adalah satu seksyen baru yang sangat regresif yang mana tidak adil dan menghormati hak asasi manusia. Sekian, terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Terima kasih, Yang Berhormat. Dipersilakan Yang Berhormat Kepong.
Tuan Lim Lip Eng - Kepong
Dato’ Yang di-Pertua, terima kasih. RUU ini memberi kuasa terlalu luas tetapi kawalan perlindungannya terlalu lemah. Fasal 6 memansuhkan seksyen baru 60— 46OAmengenai peranti pengawasan elektronik.
Komisioner Jeneral boleh mengarahkan peranti dipasang pada mana-mana banduan dalam penjara, dalam jagaan pegawai penjara, dilepaskan secara lesen atau parol.
RUU ini tidak menjelaskan siapa yang boleh dikenakan peranti. Tiada penilaian risiko wajib, alasan bertulis, tempoh maksimum, semakan berkala atau hak rayuan. Lebih membimbangkan Komisioner Jeneral menentukan sendiri semua syarat peranti. Jika syarat dilanggar, seseorang melakukan kesalahan. Kesalahan jenayah tidak boleh bergantung kepada syarat dalaman seseorang pegawai. Syarat penting mesti dinyatakan dalam akta atau peraturan yang bertulis.
Peranti hanya patut digunakan selepas penilaian risiko individu. Keputusan mesti bertulis, mempunyai tempoh tertentu dan boleh dirayu kepada badan bebas.
Peranti ini memantau lokasi dan pergerakan seseorang. Namun, RUU ini tidak menyatakan siapa boleh mengakses maklumat itu, berapa lama ia disimpan, sama ada ia boleh dikongsi atau apa berlakunya jika data bocor. Akses mesti rekodkan, perkongsian dihadkan, tempoh simpanan ditetapkan dan sistem diaudit.
RUU ini juga menjadikan pelanggaran syarat peranti sebagai kesalahan tanpa hukuman khusus. Maka peranti am di bawah fasal 8 boleh digunakan iaitu denda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga satu tahun. Bagaimana jika peranti rosak, bateri habis, sistem gagal atau banduan dimasukkan ke hospital? Undang- undang mesti jelas bahawa kegagalan teknologi dan kecemasan perubatan tidak boleh terus menjadi kesalahan.
Dato’ Yang di-Pertua, fasal paling bahaya ialah fasal 10 iaitu seksyen baru 63A. Seksyen ini menghalang tindakan guaman, pendakwaan atau prosiding terhadap pegawai penjara atau mana-mana orang lain yang bertindak atas arahan Komisioner Jeneral. Jika dia bertindak dengan suci hati dan percaya tindakannya perlu.
Dato’ Yang di-Pertua, perkataan pendakwaan mesti dibuang. Pegawai yang menjalankan tugas dengan jujur patut dilindungi tetapi perlindungan tidak boleh menjadi kekebalan. Arahan ketua bukan lesen untuk melanggar undang-undang sama ada seseorang benar-benar bertindak dengan suci hati mesti diuji oleh mahkamah berdasarkan bukti. Ini lebih membimbangkan selepas dapatan inkuiri awam SUHAKAM berhubung insiden Penjara Taiping pada 17 Januari 2025.
Perlindungan ini tidak boleh meliputi kekerasan berlebihan, penderaan, kecuaian melampau, rasuah, pemalsuan rekod, kecederaan serius atau kematian dalam tahanan.
Dato’ Yang di-Pertua, fasal 9 membenarkan hasil pelupusan harta yang dirampas atau tidak diketahui pemiliknya dimasukkan ke dalam Kumpulan Wang Hadiah Pegawai Penjara yang memberi ganjaran dan manfaat kepada pegawai. Ini menimbulkan konflik kepentingan. Pihak yang menjalankan penggeledahan tidak patut kelihatan mendapat manfaat daripada harta yang dirampas. Harta mesti direkodkan, pemilik diberi peluang menuntut dan pelupusan dibuat secara telus.
Hasil jualan patut disimpan dalam akaun amanah berasingan sehingga tempoh tuntutan tamat.
Saya menyokong penglibatan sukarelawan dalam pendidikan, kaunseling dan latihan kemahiran.
Tuan Lim Lip Eng - Kepong
Tetapi RUU ini tidak menetapkan saringan keselamatan latihan wajib kerahsiaan kod etika atau kawalan akses kepada rekod banduan. Sukarelawan mesti disaring dan dilatih. Mereka tidak boleh diberi kuasa disiplin, penggeledahan atau akses bebas kepada rekod sulit.
RUU ini juga menggantikan pentadbiran Persatuan Pegawai Penjara melalui peraturan dengan cara yang ditentukan oleh Menteri. Jangan gantikan peraturan bertulis dengan kuasa budi bicara Menteri yang terlalu luas. Peraturan boleh dibaca dan disemak. Arahan dalaman pula boleh berubah tanpa pengetahuan umum.
Akhir sekali, RUU sendiri menyatakan jumlah perbelanjaan tambahan belum dapat ditentukan. Parlimen mesti tahu kos sistem ini. Pembekal peranti, tempat data disimpan, pihak yang boleh mengakses data dan pelan jika sistem gagal. Jangan minta Parlimen memberi cek kosong kepada sistem pengawasan yang butirannya belum jelas.
Dato' Yang di-Pertua, saya tidak menolak teknologi. Saya menolak kuasa tanpa kawalan. Saya tidak menolak perlindungan kepada pegawai. Saya menolak kekebalan daripada undang-undang. Kerajaan tidak ada pilihan lain. Kerajaan mesti perlu meminda fasal 6, fasal 9, fasal 10 dan fasal 11 sebelum RUU ini diluluskan.
Sekian, terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Terima kasih Yang Berhormat Kepong. Dipersilakan Yang Berhormat Kulim-Bandar Baharu.
Tuan Roslan bin Hashim - Kulim-Bandar Baharu
Baik. Terima kasih Yang di-Pertua kerana memberi peluang kepada saya untuk turut mengambil bahagian dalam perbahasan Rang Udang-undang Penjara (Pindaan) 2026.
Pada pandangan saya, pindaan yang dibawa oleh kerajaan pada hari ini bukan sekadar berkaitan soal pentadbiran atau pengurusan penjara semata-mata.
Ia sebenarnya menyentuh satu persoalan yang lebih besar iaitu bagaimana negara mengimbangi antara keselamatan awam, keadilan jenayah dan usaha memulihkan insan yang pernah melakukan kesilapan.
Dalam sistem keadilan moden, penjara tidak boleh dilihat hanya sebagai tempat menghukum. Penjara juga perlu berfungsi sebagai institusi yang membantu membina semula kehidupan seseorang, mengurangkan kecenderungan mereka untuk mengulangi jenayah dan akhirnya membolehkan mereka kembali menjadi masyarakat yang produktif.
Saya juga ingin mengalu-alukan langkah kerajaan memperkenalkan penggunaan peranti pengawasan elektronik, memperkukuhkan sistem parol serta memperluaskan penglibatan masyarakat melalui program sukarelawan. Ini merupakan pendekatan yang selari dengan amalan banyak negara maju yang semakin beralih kepada model pemulihan dan pemantauan berasaskan risiko.
Namun begitu Tuan Yang di-Pertua, dalam kita menyokong hasrat baik kerajaan ini, terdapat beberapa perkara yang saya fikirkan wajar diberi perhatian dan penjelasan lanjut. Pertama, saya ingin menyentuh mengenai peruntukan baharu berkaitan peranti pengawasan elektronik. Pindaan ini memberikan kuasa kepada Komisioner Jeneral untuk mengarah pemasangan peranti pengawasan elektronik ke atas banduan tertentu sama ada ketika berada dalam tahanan, dibebaskan secara lesen atau dibebaskan secara parol.
Secara prinsipnya, saya menyokong penggunaan teknologi ini. Jika kita melihat pengalaman negara-negara seperti United Kingdom, Australia dan Singapura, penggunaan elektronik monitoring telah membantu mengurangkan kesesakan penjara, meningkatkan pemantauan terhadap pesalah serta mengurangkan kos pemenjaraan. Malah, teknologi seperti ini membolehkan kerajaan memantau pergerakan pesalah secara lebih efektif tanpa perlu menempatkan mereka sepenuhnya di dalam sesi penjara.
Namun persoalannya, apakah mekanisme semakan terhadap keputusan tersebut? Dalam pindaan ini, kuasa yang agak besar diberikan kepada Komisioner Jeneral untuk menentukan pemasangan peranti, syarat penggunaannya serta aspek penguatkuasaannya. Saya tidak mempertikaikan keperluan kuasa tersebut, tetapi dalam mana-mana sistem pentadbiran yang baik, kuasa yang besar perlu disertai dengan mekanisme semak dan imbang yang jelas.
Adakah terdapat kriteria yang khusus bagi menentukan banduan yang layak dikenakan peranti ini? Adakah terdapat tempoh maksimum penggunaannya?
Sekiranya seseorang banduan merasakan keputusan tersebut tidak wajar, adakah mereka mempunyai hak untuk membuat rayuan atau mendapat semakan bebas?
Perkara-perkara ini perlu diperjelaskan supaya pelaksanaan dasar ini bukan sahaja berkesan, tetapi juga telus dan adil.
Kedua, saya juga ingin menyentuh mengenai seksyen 63A, berkaitan perlindungan daripada tindakan undang-undang. Saya memahami rasional kerajaan dalam perkara ini. Pegawai penjara yang menjalankan tugas secara jujur dan dengan niat yang baik sememangnya perlu diberi perlindungan sewajarnya daripada tindakan undang-undang yang tidak munasabah.
Namun, pada masa yang sama, kita juga perlu memastikan bahawa perlindungan tersebut tidak mewujudkan persepsi bahawa terdapat pihak yang kebal daripada pertanggungjawaban. Saya percaya ini bukan niat kerajaan. Sebab itulah saya ingin mendapatkan penjelasan mengenai mekanisme yang tersedia sekiranya berlaku kecuaian serius atau salah laku yang melibatkan pegawai penjara.
Di negara-negara seperti United Kingdom dan New Zealand, perlindungan seumpama ini lazimnya disertakan dengan sistem aduan bebas serta pemantauan oleh badan luar yang mempunyai kuasa penyiasat. Pendekatan seperti ini penting bagi memastikan keseimbangan antara perlindungan kepada pegawai dan hak individu yang terkesan untuk mendapat keadilan. Kita mahu pegawai dilindungi.
Tetapi pada masa yang sama, kita juga mahu akauntabiliti sentiasa terpelihara.
Ketiga, saya ingin menyentuh mengenai peruntukan berkaitan pelantikan sukarelawan. Secara prinsipnya, saya menyokong penuh pelibatan masyarakat dalam proses pemulihan banduan. Pemulihan tidak boleh dipikul oleh Jabatan Penjara semata-mata. Ia memerlukan sokongan keluarga, komuniti, pertubuhan masyarakat sivil dan individu yang sanggup menyumbang masa serta kepakaran mereka.
Namun persoalannya, apakah syarat kelayakan bagi sukarelawan yang akan dilantik? Apakah lantikan yang perlu mereka lalui? Bagaimanakah proses saringan keselamatan akan dilaksanakan? Dan apakah kod etika yang perlu dipatuhi oleh mereka? Ini bukan perkara kecil.
Sukarelawan akan berinteraksi secara langsung dengan banduan dan terlibat dengan pelbagai program pemulihan. Justeru, aspek keselamatan dan profesionalisme perlu diberikan perhatian yang serius. Jangan nanti niat kita baik untuk membantu proses pemulihan tetapi kelemahan dari sudut pelaksanaan akhirnya menimbulkan risiko yang tidak diingini.
Tuan Yang di-Pertua, pada saya, isu yang lebih besar dalam perbahasan ini ialah reformasi penjara tidak boleh hanya tertumpu kepada aspek kawalan dan pengawasan semata-mata. Kita juga perlu bertanya satu soalan yang lebih penting.
Apakah ukuran sebenar kejayaan sesebuah sistem penjara? Adakah sekadar bilangan banduan yang dipenjarakan atau sejauh manakah mereka mampu berubah dan kembali menjadi anggota masyarakat selepas dibebaskan?
Pada pandangan saya, ukuran kejayaan yang sebenarnya ialah sejauh manakah seorang banduan itu tidak kembali melakukan jenayah setelah dibebaskan.
Itulah matlamat utama pemulihan. Jika kita melihat pengalaman negara-negara seperti Norway dan Finland. Mereka memberikan penekanan yang sangat besar kepada pendidikan, latihan, kemahiran, kaunseling dan integrasi semua banduan ke dalam masyarakat.
Hasilnya, kadar data pengulangan jenayah di negara tersebut, jauh lebih rendah berbanding negara-negara yang lain. Ini menunjukkan bahawa pelaburan dalam aspek pemulihan memberi pulangan yang besar kepada masyarakat dalam jangka masa panjang.
Justeru itu, saya berpandangan bahawa reformasi penjara perlu bergerak secara seimbang antara aspek keselamatan, penguatkuasaan dan pemulihan. Oleh sebab itu, saya ingin mengemukakan beberapa cadangan konstruktif bagi pertimbangan pihak kerajaan:
(i) mewujudkan mekanisme rayuan atau semakan bebas terhadap keputusan pemasangan peranti pengawasan elektronik;
(ii) mewajibkan laporan tahunan kepada Parlimen mengenai penggunaan peranti tersebut termasuk jumlah banduan yang terlibat, kadar pematuhan, kos pelaksanaan dan keberkesanan dalam mengurangkan kadar pengulangan jenayah;
(iii) memperincikan garis panduan, pelantikan latihan dan saringan sukarelawan melalui peraturan subsidiari yang jelas dan komprehensif; dan
(iv) mempertimbangkan pertubuhan mekanisme aduan bebas bagi menyiasat dakwaan salah laku atau kecuaian yang melibatkan pegawai penjara.
Tuan Roslan bin Hashim - Kulim-Bandar Baharu
Tuan Yang di-Pertua, saya percaya semua Ahli Dewan ini mempunyai matlamat yang sama. Kita mahu sistem penjara yang mampu melindungi masyarakat, yang mahu bebas dihukum dengan adil dan dalam masa yang sama, kita mahu mereka diberi peluang untuk berubah serta membina kehidupan yang lebih baik. Sekian, terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato' Mohd Nor
Terima kasih Yang Berhormat Kulim-Bandar Baharu. Pembahas yang terakhir, Yang Berhormat Batu Gajah.
Dr. Sivakumar a/l Varatharaju Naidu - Batu Gajah
Salam sejahtera dan salam Malaysia MADANI. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua atas kesempatan yang diberikan kepada Batu Gajah untuk mengambil bahagian dalam perbahasan Rang Undang-undang Penjara (Pindaan) 2026.
Secara keseluruhannya, Batu Gajah menyambut baik dan menyokong rang undang-undang ini kerana ia mengandungi pelbagai langkah pembaharuan yang bertujuan memperkukuhkan sistem pentadbiran penjara negara. Meningkatkan keberkesanan proses pemulihan banduan serta memperkemaskan tadbir urus Jabatan Penjara Malaysia selaras dengan keperluan semasa.
Walau bagaimanapun, seperti mana-mana rang undang-undang yang melibatkan keseimbangan antara kuasa pentadbiran, keselamatan dan hak individu, terdapat beberapa perkara yang wajar diberikan penelitian lanjut bagi memastikan objektif yang ingin dicapai dapat dilaksanakan dengan sebaik-baiknya.
Atas dasar tersebut, saya mengambil bahagian dalam perbahasan ini untuk menyatakan sokongan terhadap rang undang-undang ini serta mengemukakan beberapa pandangan dan cadangan penambahbaikan untuk pertimbangan pihak kerajaan. Sebelum menyentuh pindaan-pindaan utama yang dicadangkan, saya ingin merakamkan penghargaan kepada pihak Penjara Batu Gajah atau kini dikenali sebagai Pusat Koreksional Batu Gajah yang terletak di kawasan Parlimen Batu Gajah atas komitmen dan dedikasi mereka dalam melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan.
Walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran dan pengurusan institusi pemulihan, pegawai dan anggota Penjara Batu Gajah terus menunjukkan tahap profesionalisme, disiplin dan integriti yang tinggi dalam memastikan aspek keselamatan pentadbiran serta program pemulihan banduan berjalan dengan baik.
Antara pindaan yang paling signifikan dalam rang undang-undang ini ialah pengenalan bahagian IBAA berkaitan peranti pengawasan elektronik. Pindaan ini memberikan kuasa kepada Commissioner General penjara untuk mengarahkan pemasangan peranti pengawasan elektronik kepada banduan tertentu, termasuk mereka yang berada dalam jagaan penjara dibebaskan secara lesen atau secara parol.
Penggunaan teknologi pemantauan bukanlah sahaja dapat meningkatkan tahap pematuhan terhadap syarat-syarat pengawasan, malah membantu mengurangkan risiko pengulangan jenayah serta memudahkan proses reintegration pesalah ke dalam masyarakat. Keberkesanan pendekatan ini juga telah dibuktikan di peringkat antarabangsa.
Menurut kajian National Institute of Justice, Amerika Syarikat, penggunaan pemantauan elektronik berjaya mengurangkan risiko kegagalan pemantauan syarat penguasaan komuniti sebanyak kira-kira 31 peratus berbanding dengan kaedah pengawasan biasa. Di Australia pula, penggunaan pemantauan elektronik sebagai alternatif kepada pemenjaraan didapati mengurangkan kadar pengulangan jenayah secara signifikan, khususnya dalam kalangan pesalah muda.
Justeru, saya melihat cadangan kerajaan ini bukanlah satu pendekatan yang tidak mempunyai asas, sebaliknya ia merupakan langkah yang telah digunakan di pelbagai negara bagi meningkatkan pematuhan, pengurangan risiko pengulangan serta membantu proses reintegration pesalah ke dalam masyarakat.
Tuan Yang di-Pertua, saya juga ingin menyentuh seksyen baru berkaitan pelantikan sukarelawan bagi membantu pelaksanaan Program Pemulihan Banduan.
Pindaan ini membolehkan Commissioner General melantik sukarelawan untuk bersesuaian untuk membantu pegawai penjara melaksanakan program pemulihan.
Saya berpandangan bahawa usaha pemulihan banduan tidak boleh dipikul oleh Jabatan Penjara semata-mata. Penglibatan masyarakat adalah sama penting, golongan profesional, ahli akademik, kaunselor, pemimpin komuniti dan pertubuhan masyarakat sivil mempunyai kepakaran yang boleh dimanfaatkan untuk membantu banduan membina semula kehidupan mereka.
Sekiranya kita benar-benar mahu mengurangkan kadar pengulangan jenayah, maka kita perlu membantu bekas banduan memperoleh kemahiran pekerjaan serta sokongan sosial yang mencukupi apabila mereka kembali ke dalam masyarakat, selaras dengan semangat Malaysia MADANI yang menekankan pembangunan insan.
Saya ingin mengemukakan satu cadangan tambahan kepada kerajaan agar memberi penekanan yang lebih menyeluruh terhadap aspek kesihatan mental dan persediaan psiko sosial banduan sebelum mereka dibebaskan. Ramai bekas banduan berdepan cabaran untuk menyesuaikan diri sebelum mereka mula berkehidupan bersama dengan masyarakat setelah sekian lama berada dalam institusi penjara. Tanpa sokongan yang mencukupi, mereka berisiko menghadapi tekanan emosi dan kesukaran mendapat pekerjaan.
Sehubungan dengan itu, saya mencadangkan agar kerajaan mempertimbangkan pelaksanaan saringan kesihatan mental secara berkala, program kaunseling, pembangunan karakter serta persediaan sikap sebelum seseorang banduan dibebaskan. Langkah ini penting bagi memastikan mereka benar-benar bersedia untuk kembali menjadi anggota masyarakat yang produktif dan tidak kembali ke dalam sistem penjara.
Sebelum saya menutup perbahasan ini, saya berpandangan bahawa peruntukan di bawah seksyen 63A berkaitan perlindungan terhadap guaman dan prosiding undang-undang wajar diberikan penelitian dan semakan lanjut oleh pihak kerajaan seperti yang dibangkitkan oleh ramai Ahli-ahli Yang Berhormat yang lain.
Saya mohon supaya seksyen 63A dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Parlimen untuk dikaji semula teliti kerana ia bertentangan dengan prinsip hak asasi manusia.
Walaupun niat peruntukan itu adalah untuk melindungi pegawai penjara yang bertindak dengan suci hati dalam melaksanakan tugas mereka, kerajaan juga perlu memastikan bahawa peruntukan tersebut tidak menimbulkan sebarang persepsi bahawa wujud perlindungan yang terlalu luas sehingga boleh menjejaskan prinsip akauntabiliti dan akses kepada keadilan.
Justeru, saya berharap kementerian dapat meneliti semula skop dan mekanisme pelaksanaan seksyen 63A bagi memastikan keseimbangan yang sewajarnya antara perlindungan kepada pegawai penjara dan hak mana-mana pihak yang mungkin terkesan oleh sesuatu tindakan atau keputusan yang dibuat.
Kesimpulannya, Rang Undang-undang Penjara (Pindaan) 2026 ini merupakan satu langkah yang positif ke arah memperkukuhkan sistem penjara negara melalui penggunaan teknologi moden, pengukuhan tadbir urus, pembangunan profesionalisme pegawai serta pendekatan pemulihan yang lebih menyeluruh dengan mengambil kira perkara-perkara yang saya bangkitkan, termasuk cadangan supaya seksyen 63A ditelitikan semula oleh pihak kerajaan.
Saya tetap menyokong pindaan-pindaan lain dalam Rang Undang-undang Penjara
(Pindaan) 2026 ini. Sekian, terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato' Mohd Nor
Terima kasih Yang Berhormat. Berikut, Menteri untuk menjawab. Sepuluh minit.
Timbalan Menteri Dalam Negeri - Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar bin Haji Nasarah
Bismillahirrahmanirrahim. Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Sri Dr.
Yang di-Pertua. Ahli-ahli Yang Berhormat yang saya hormati sekalian. Bagi pihak Kementerian Dalam Negeri, saya mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih di atas segala pandangan, saranan yang disampaikan oleh Ahli-ahli Yang Berhormat dalam membahaskan Rang Undang-undang Penjara (Pindaan) 2026 yang dibentangkan pada sesi ini.
Dan sesungguhnya, sebagai kementerian dan kerajaan yang bertanggungjawab, Kementerian Dalam Negeri mengambil maklum akan semua isu- isu yang telah dibangkitkan sewaktu sesi pembahasan rang undang-undang ini. Dan tentunya kita amat menghormati pandangan-pandangan yang diberikan.
Saya ambil kesempatan sedikit untuk memaklumkan, sebenarnya Akta Penjara 1995 [Akta 537] ini merupakan satu akta yang sangat penting. Digubal bagi mengawal selia pentadbiran dan pengurusan institusi penjara di Malaysia. Kerana akta ini memperuntukkan kuasa, tanggungjawab dan tatacara berkaitan pengendalian banduan dan keselamatan penjara. Dengan matlamat akhirnya, untuk memastikan sistem pemenjaraan dapat dilaksanakan dengan teratur dan berkesan.
Dan akta ini sebenarnya— Akta 537 ini kali terakhir dipinda ialah pada tahun 2015, Ahli Yang Berhormat. Dan sebab itulah saya nak maklumkan bahawa proses untuk penggubalan akta ini telah kita lalui mengikut tertib dan sebagaimana yang disyaratkan. Ia telah juga dibawa ke Jemaah Menteri pada 5 Julai 2024 dan sekali lagi dibawa ke Jemaah Menteri pada 5 Jun 2026. Untuk makluman juga, bahawa akta ini dipinda bertujuan bagi memperkukuhkan pengurusan dan institusi penjara serta kita pastikan undang-undang sedia ada kekal relevan.
Dan untuk itu, saya nak maklumkan bahawa Rang Undang-undang Penjara
(Pindaan) 2026 ini telah pun dibentangkan dalam Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi pada 29 Oktober 2025 lalu.
Dan juga kepada Jawatankuasa Keselamatan pada 16 Jun 2026 lalu, Yang Berhormat.
Secara umumnya, Jawatankuasa-jawatankuasa berkenaan telah memberi respons yang positif terhadap pindaan-pindaan yang dihasratkan oleh Kementerian Dalam Negeri melalui rang undang-undang ini. Dan lanjutan daripada itu juga, sesi taklimat juga dibuat kepada Ahli-ahli Yang Berhormat untuk kita mendapat pandangan-pandangan mengenai akta ini.
Ahli Yang Berhormat, sebenarnya rang undang-undang ini kita berikan tumpuan kepada empat aspek utama sebenarnya. Satu ialah untuk menangani isu kesesakan penjara melalui pendekatan pemulihan yang lebih dinamik. Saya tak ada angka tepat mengenai kesesakan penjara, memang diakui bahawa sesak melebihi daripada jumlah yang sepatutnya ada di dalam tembok penjara.
Keduanya, ia bertujuan untuk memperkukuhkan tadbir urus dan keselamatan serta pengoperasian institusi penjara itu sendiri. Selain itu, tentulah bertujuan untuk memperkasa program pemulihan, latihan kemahiran dan juga pekerjaan kepada banduan-banduan dalam penjara. Dan tentulah tujuan lain ialah untuk memperkukuhkan penglibatan komuniti dalam menyokong proses pemulihan dan integrasi pesalah ke dalam masyarakat. Dan undang-undang ini sebenarnya memberi hak pada semua, kepada pegawai-pegawai penjara, kepada pesalah dan juga hak kepada masyarakat.
Dato’ Yang di-Pertua, melihat kepada pandangan-pandangan yang dikemukakan oleh wakil-wakil daripada kerajaan dan juga rakan-rakan kita di sebelah sana, sebagai sebuah kementerian dan kerajaan yang respons, maka saya nak maklumkan bahawa menurut Peraturan Mesyuarat 62, saya bagi pihak Kementerian Dalam Negeri berhasrat untuk menangguhkan dulu Rang Undang- undang Penjara (Pindaan) 2026 [Tepuk] dan kementerian bersetuju untuk membawa rang undang-undang ini sekali lagi kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Keselamatan dan Jawatankuasa Pilihan Khas Hak Asasi dan untuk diteliti terlebih dahulu.
Bagi pihak kementerian, saya ucap terima kasih atas segala pandangan dan saya sudahi dengan wabillahitaufik walhidayah, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Terima kasih Yang Berhormat Menteri. Baik. Dengan sedemikian, rang undang-undang ini akan dirujuk pada Jawatankuasa.
Dengan itu Ahli-ahli Yang Berhormat, Mesyuarat Dewan hari ini ditangguh sehingga 10.00 pagi, hari Isnin, 29 Jun 2026.
[Dewan ditangguhkan pada pukul 5.32 petang]