Katalog Hansard
[Timbalan Yang di-Pertua (Dato’ Dr. Ramli bin Dato' Mohd Nor) **mempengerusikan Mesyuarat****]
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato' Mohd Nor
[Membaca doa] Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Yang Berhormat-Yang Berhormat, kita mula urusan pada pagi ini dengan Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri dan berikutnya Pertanyaan- pertanyaan Bagi Jawapan Lisan.
Sebelum saya mulakan, saya akan mengingatkan Yang Berhormat-Yang Berhormat akur Peraturan 24, cara mengeluarkan pertanyaan dan menjawab soalan terutama sekali 24(3); Peraturan 36, isi ucapan Yang Berhormat-Yang Berhormat; Peraturan 41, adab Ahli-ahli yang tidak bercakap dan Peraturan 44, tertib dalam mesyuarat.
Dalam pengendalian waktu, ia adalah atas budi bicara Pengerusi yang menjalankan mesyuarat.
Yang Berhormat-Yang Berhormat, sebelum saya mula, ingat kepada tiga perkara ini. Apabila menyentuh bab 3R, ada garis panduan dan had-hadnya. Jadi, prihatinlah atas perkara yang kita bincangkan kerana tanggungjawab kita di dalam Dewan ini adalah berat kepada rakyat dan Majlis Raja-Raja— Tuanku kita.
Saya mulakan urusan pada pagi ini dengan mempersilakan Datuk Seri Dr.
Zaliha binti Mustafa, Yang Berhormat Sekijang.
1. Datuk Seri Dr. Zaliha binti Mustafa [Sekijang]: Terima kasih Tuan Yang di- Pertua. Bismillahirrahmanirrahim. Sekijang minta Menteri Kewangan menyatakan, jumlah peruntukan program SARA melalui sistem MyKasih yang dibelanjakan sepanjang 2025 serta nilai sebenar transaksi dijana dalam pasaran tempatan:
(a) status baki bantuan tidak dibelanjakan penerima hingga tarikh luput 31 Disember 2025; dan
(b) pelan penambahbaikan sistem bagi 2026.
Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato' Mohd Nor
Silakan Menteri Kewangan.
Menteri Kewangan II - Datuk Seri Amir Hamzah Azizan
Dato' Yang di- Pertua. Untuk makluman Yang Berhormat, Sumbangan Asas RAHMAH ataupun SARA merupakan bantuan tanpa tunai yang disalurkan dalam bentuk kredit melalui Kad Pengenalan. Ia boleh digunakan di kedai-kedai yang berdaftar sebagai Rakan Niaga SARA bagi membeli 14 kategori barangan keperluan asas termasuk barangan kebersihan diri, barangan kebersihan rumah, ubat-ubatan selain daripada barangan makanan asas.
Pendekatan ini membolehkan kerajaan memantau pelaksanaan program secara berkesan dan memastikan golongan sasar benar-benar memanfaatkan bantuan bagi tujuan yang dinyatakan. Peningkatan peruntukan Sumbangan Tunai RAHMAH dan SARA dari tahun ke tahun adalah komitmen kerajaan dalam memperkukuhkan jaringan keselamatan sosial.
Pada 2026, RM15 bilion disediakan untuk STR dan SARA berbanding RM10 bilion pada 2024 untuk memanfaatkan lebih lapan juta penerima. Bantuan ini khususnya SARA merupakan mekanisme bantuan sasar yang membantu rakyat menangani peningkatan kos sara hidup.
Berdasarkan data tahun 2025, hampir 5.6 juta penerima SARA bulanan di bawah STR telah menggunakan MyKad untuk membeli barangan asas di premis berdaftar yang mencerminkan kadar penggunaan sebanyak 99 peratus dengan nilai transaksi perbelanjaan di pasaran tempatan mencecah RM4.8 bilion daripada peruntukan RM5 bilion. Bagi penghargaan SARA one-off, lebih 21 juta rakyat Malaysia telah membuat perbelanjaan iaitu 96 peratus daripada keseluruhan jumlah penerima dengan nilai transaksi di pasaran tempatan melebihi RM2.05 bilion.
Pada 9 Februari 2026 ini, SARA untuk semua iaitu bantuan one-off RM100 melalui kad akan bermula. Peruntukan RM2.2 bilion disediakan untuk memanfaatkan semua warganegara Malaysia yang berumur 18 tahun ke atas. Tiada permohonan diperlukan, ia akan terus dikreditkan secara automatik ke dalam MyKad masing- masing serta sah digunakan sehingga 31 Disember 2026. Semakan kelayakan boleh dibuat mulai hari ini dengan melayari portal sara.gov.my.
Baki peruntukan penghargaan SARA 2025 berjumlah RM150 juta tidak dibelanjakan atau tidak dituntut sehingga 31 Disember 2025, ia akan diagihkan semula untuk keperluan golongan tumpuan, antaranya:
(i) penghuni pusat perlindungan khususnya mangsa keganasan rumah tangga di bawah KPWKM;
(ii) pelajar orang kurang upaya (OKU) dan pelajar berkeperluan khas di bawah KPM;
(iii) pembelian peranti perubatan untuk pesakit miskin di bawah KKM; dan
(iv) penubuhan dan pengukuhan bank masakan dapur siswa, dengan peruntukan khusus sebanyak RM15 juta di bawah KPT.
Menteri Kewangan II - Datuk Seri Amir Hamzah Azizan
Pengagihan semula dana ini bukan sahaja memastikan ketelusan dan kecekapan pengurusan kewangan awam, malah memperkukuhkan jaringan keselamatan sosial negara.
Tumpuan kepada kumpulan rentan seperti mangsa keganasan rumah tangga, OKU dan pesakit miskin memperlihatkan keutamaan kerajaan terhadap prinsip keadilan sosial dan kemanusiaan. Langkah ini juga membuktikan keupayaan kerajaan mengurus dana awam secara fleksibel dan responsif terhadap keperluan semasa. Ia turut mencerminkan pendekatan kerajaan yang lebih bersasar dan inklusif dalam menangani isu kebajikan sosial. Sekian, terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato' Dr. Ramli bin Dato' Mohd Nor
Silakan Yang Berhormat. Sekijang, soalan tambahan.
Datuk Seri Dr. Zaliha binti Mustafa - Sekijang
Terima kasih Tuan Yang di- Pertua. Terima kasih YB Menteri atas jawapan yang begitu tuntas tadi.
Saya melihat program SARA ini adalah, di antara inisiatif touch point yang benar-benar dekat di hati rakyat dan dapat dinikmati oleh segenap lapisan masyarakat termasuk kita Ahli-ahli Parlimen ini. Walaupun mungkin Ahli-ahli Parlimen wangnya itu di antara yang lebihan tadi kan, yang digunakan yang manfaat yang lain. Jadi, alhamdulillah.
Sudah tentu dalam ekosistem SARA ini yang tidak kurang pentingnya ialah peniaga itu sendiri. Saya kira dalam ekosistem ini maka–– soalan tambahan saya Dato' Yang di-Pertua, kalau kita dapat duit, kemudian kita tak belanja, itu lah masalah juga kan. Jadi, soalan tambahan saya YB Menteri, apakah syarat-syarat yang telah ditambah baik untuk menjadi Rakan Niaga SARA.
Kedua, mengapakah barangan makanan asas seperti ayam, daging, ikan tidak dimasukkan dalam 14 kategori produk yang telah dinyatakan oleh Menteri tadi.
Jadi, kalau misalnya mungkin rakyat-rakyat yang susah itu tak kan nak makan nasi dengan kicap sahaja kan. Jadi nak sikit lah ayam kah, ikan kah. Jadi, maka apakah pihak kerajaan sedia mempertimbangkan untuk menambah baik syarat dan juga tempoh masa kelulusan serta masukkan barangan basah dalam kategori produk program SARA ini tadi. Terima kasih.
Datuk Seri Amir Hamzah Azizan
Terima kasih Yang Berhormat atas soalan tersebut. Dato' Yang di-Pertua, kerajaan terbuka kepada cadangan dan input berterusan dalam menambah baik program SARA yang sedia ada. Namun penambahbaikan perlu dibuat dari masa ke semasa bagi menyusun program SARA dengan keperluan terkini. Antara kriteria yang ditambah baik termasuk pengendalian kedai runcit yang ingin menjadi Rakan Niaga SARA perlu menjual sekurang- kurangnya tujuh daripada 14 kategori yang ditetapkan. Jadi dia dah dilonggarkan daripada apa yang dulu kita nak— 14 kategori yang dibenarkan.
Kedua, kerajaan akan terus mengkaji dan menilai semula senarai barangan yang diluluskan di bawah SARA bagi memastikan ia kekal selaras dengan keperluan asas isi rumah. Saya rasa cadangan untuk menambah hanya adalah satu cadangan yang baik. Kita sedang mempertimbangkan untuk membenarkan makanan sejuk beku: frozen food sebagai kategori baru. Jadi, ayam itu boleh lah kalau dia frozen kan. Ini dapat dilihat melalui penambahbaikan berterusan yang dibuat melalui kategori barangan yang telah ditambah kepada 14 pada 2025 berbanding 10 dalam tahun 2024.
Bagi barangan basah pula, kerajaan masih menjalankan kajian lanjut bagi memastikan aspek kualiti, keselamatan makanan dan jaminan kepada pengguna dapat dipelihara sebelum sebarang keputusan dapat dimuktamadkan.
Setakat 3 Februari, jumlah Rakan Niaga SARA telah meningkat kepada 10,700 buah kedai di seluruh negara, berbanding hanya 700 pada tahun 2024. Dari jumlah tersebut, 3,000 adalah peniaga kecil dan bukan daripada mereka yang ada banyak cawangan dan rantaian di seluruh negara.
Kita telah mendengar perutusan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri yang telah menegaskan yang kita akan melebarkan lagi jaringan SARA dan disasarkan untuk tahun ini peningkatan untuk kedai runcit adalah sebanyak sehingga 10,000 kedai. Jadi pada 3,000 tadi akan dinaikkan kepada 10,000. Ini akan juga mengurangkan liputan di mana dianggarkan jarak daripada kedai runcit yang terdekat pada seorang penerima itu akan berkurang daripada 10 kilometer ke 7 kilometer.
Insya-Allah, untuk mereka yang termasuk pemohon SARA, kita akan cuba memprosesnya dalam dua minggu kalau dokumen diterima dengan lengkap. Insya- Allah juga kalau ada apa-apa keperluan, kita akan terus melihat cara untuk menambah baik program SARA. Program SARA ini telah menerima penerimaan yang baik, di mana lebih 99 peratus tebusan telah dibuat. Jadi, kita merasa nilai— cara yang elok untuk rakyat. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato' Dr. Ramli bin Dato' Mohd Nor
Silakan Yang Berhormat Tumpat.
Dato' Hajah Mumtaz binti Md Nawi - Tumpat
Okey, assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih Timbalan Yang di-Pertua.
Soalan tambahan saya, adakah MOF bersedia untuk menetapkan sebagai prinsip dasar reka bentuk supaya semua bantuan di bawah MOF yang meliputi STR, SARA ataupun subsidi bersasar mesti boleh diakses secara offline first dengan menggunakan MyKad di kaunter, manakala aplikasi mudah alih kekal sebagai pilihan tambahan sahaja. Itu yang pertama.
Kedua, sebagai pelan penambahbaikan sistem. Saya melihat dalam pelan strategik kebangsaan memerangi masalah beban makanan berganda di bawah part meal pemakanan di bawah Kementerian Kesihatan, dalam rancangan ini tidak ada penglibatan Menteri Ekonomi. Isunya ialah, antara perkara yang boleh dibeli dengan SARA ialah hasil tenusu iaitu susu yang merupakan makanan terbaik untuk kanak- kanak yang terbantut. Walau bagaimanapun, isunya ialah mereka boleh beli guna SARA, tetapi harga susu tidak terkawal dan merupakan barang yang mahal, tapi ini diperlukan oleh masyarakat.
Jadi, adakah kerajaan bersedia dalam penambahbaikan ini untuk— juga menetapkan dan menurunkan harga barang tenusu bagi memastikan bahawa isu malpemakanan di kalangan kanak-kanak khususnya di bawah penerima SARA ini dapat kita atasi. Terima kasih.
Datuk Seri Amir Hamzah Azizan
Okey, terima kasih Yang Berhormat Tumpat. Dato' Yang di-Pertua, terima kasih kerana Tumpat membuat banyak cadangan untuk penambahbaikan sistem SARA. Kalau kita lihat dari segi dasarnya, bila kita telah melebarkan SARA kepada lebih 10,000 kedai, jaringannya telah cukup meluas. So, tidak rasa ada isu untuk tebusan kerana lebih daripada 99 peratus rakyat Malaysia telah menggunakan— yang layak telah menggunakan SARA.
Jadi untuk sekarang, kita punya usaha adalah untuk meningkatkan jaringan kedai kecil, di mana kita berharap lagi sampai 10,000 kedai kecil akan masuk dalam sistem SARA. Jadi, lebih banyak lagi ruang untuk mereka menggunakan dan pilihan yang akan diadakan.
Keduanya, dari segi kementerian. Kita fokus juga untuk meningkatkan lagi kategori-kategori barangan yang dibenarkan untuk menggunakan SARA. Jadi, macam yang saya katakan tadi, barangan beku akan diumumkan. Insya-Allah tak lama lagi untuk pelebaran. Jadi, rakyat boleh memilih lebih banyak benda dekat dalam itu.
Kita ambil maklum yang kadang-kadang ada isu-isu yang mungkin kita boleh menggunakan SARA untuk mengawal kos sara hidup. Seperti apa yang dikatakan dalam pembelian tenusu. Jadi, saya akan berbincang dengan pegawai-pegawai, tengok apakah cara lain lagi yang boleh dibuat.
Kalau kita tengok, kenapa kita menggunakan SARA dengan MyKad? Kita juga mendapat kebolehan untuk berunding dengan peniaga-peniaga, di mana kadang-kadang kita dapat bundle deal yang dibuat kerana mereka dibenarkan untuk menggunakan SARA, jadi dia buat tambahan juga.
Kalau orang itu menggunakan SARA, dia dapat lebihan. Kalau kita buat cara STR dulu, kita tak dapat menggunakan. Duit itu digunakan sendiri. Tak ada extra yang dia bolehkan. Dengan cara SARA ini, kita boleh menambah lebih mana penerimanya juga dapat bundle offer yang dibuat bukan oleh peniaga-peniaga. Jadi, ini lah cara-cara yang kita akan melihat untuk meningkatkan lagi apa yang diterima oleh penerima SARA.
Dato' Sri Dr. Wee Jeck Seng - Tanjung Piai
[Bangun]
Tuan Haji Aminolhuda bin Hassan - Sri Gading
[Bangun]
Timbalan Yang di-Pertua - Dato' Dr. Ramli bin Dato' Mohd Nor
Terima kasih Yang Berhormat.
Yang Berhormat Sri Gading dan Tanjung Piai, saya tidak membenarkan Yang Berhormat berdua bertanya. Kuasa saya di bawah Peraturan 37, cara menyerlah dan juga kuasa, tidak membenarkan Yang Berhormat untuk bercakap.
Tuan Haji Aminolhuda bin Hassan - Sri Gading
Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato' Dr. Ramli bin Dato' Mohd Nor
Saya teruskan kepada soalan ke-2. Silakan Tuan Kalam bin Salan, Yang Berhormat Sabak Bernam.
2. Tuan Kalam bin Salan [Sabak Bernam]: Terima kasih Dato' Yang di-Pertua.
Apakah jaminan kerajaan bahawa penempatan MITRA di bawah Kementerian Sumber Manusia yang sedia ada memikul bebanan tugas besar tidak akan menjejaskan kepentingan kebajikan serta keberkesanan pelaksanaan agenda berkaitan kaum India di negara ini. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Datoʼ Dr. Ramli bin Datoʼ Mohd Nor
Silakan Menteri Sumber Manusia untuk menjawab. Silakan Yang Berhormat.
Menteri Sumber Manusia - Dato’ Sri Ramanan Ramakrishnan
Dato’ Yang di-Pertua, untuk makluman Dewan yang mulia, sebelum ni hal-hal berkaitan Unit Transformasi Masyarakat India (MITRA) di Parlimen dijawab oleh saya bagi mewakili Yang Amat Berhormat Perdana Menteri. Pada masa yang sama, saya juga merupakan jurucakap bagi Kerajaan MADANI, berhubung isu-isu masyarakat India.
Pada 14 Januari 2026, Jemaah Menteri telah memutuskan agar Unit Transformasi Masyarakat India (MITRA) ditempatkan di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA). Keputusan ini merupakan satu langkah strategik penstrukturan semula pentadbiran yang telah dipersetujui di peringkat Kabinet. Penempatan MITRA di bawah KESUMA ini tidak mengubah mandat asal MITRA sebagai agensi khusus yang bertanggungjawab untuk merancang dan melaksanakan program pembangunan sosioekonomi masyarakat India.
Sebaliknya, langkah ini memperkukuh komitmen Kerajaan MADANI dalam memastikan agenda kesejahteraan, mobiliti sosial dan pembangunan modal insan masyarakat India dilaksanakan secara lebih bersepadu dan berimpak tinggi. Dalam hubungan ini, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri berpandangan penempatan MITRA di bawah KESUMA tidak akan menjejaskan prinsip tersebut. Malah mengukuhkan kedudukan MITRA dengan menyepadukan agenda pembangunan masyarakat India ke dalam kerangka pembangunan sumber manusia negara secara menyeluruh.
Langkah ini bertujuan memastikan perancangan pelaksanaan dan pemantauan program-program MITRA dapat dilaksanakan secara lebih teratur, sistematik dan berkesan selaras dengan dasar pembangunan tenaga kerja, kebolehpasaran, peningkatan kemahiran dan perlindungan sosial di bawah KESUMA. Pada masa yang sama, ia turut memperkukuh tadbir urus, ketelusan serta akauntabiliti pengurusan peruntukan dan program MITRA.
KESUMA komited untuk membantu melaksanakan mandat MITRA melalui kerjasama rentas agensi, pemantauan bersepadu dan penyelarasan dasar. Yang penting, tiada perubahan terhadap fokus utama MITRA iaitu pembangunan sosioekonomi masyarakat India. Dengan penempatan MITRA di bawah KESUMA, saya akan memastikan semua inisiatif dan program yang disediakan atau dilaksanakan akan terus memberi manfaat secara berkesan, inklusif dan berterusan selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI. Sekian, terima kasih Dato’ Yang di- Pertua.
Timbalan Yang di-Pertua - Datoʼ Dr. Ramli bin Datoʼ Mohd Nor
Silakan Yang Berhormat Sabak Bernam.
Tuan Kalam bin Salan - Sabak Bernam
Yang Berhormat Menteri, masalahnya ialah sejumlah wang telah diturunkan kepada MITRA untuk tujuan yang Yang Berhormat Menteri sebutkan tadi.
Saya ingin menarik perhatian Dewan bahawa saya telah menerima banyak aduan [Berucap dalam bahasa Tamil] Daripada pemohon di kawasan Parlimen Sabak Bernam yang memaklumkan bahawa semua permohonan pelbagai kemudahan di bawah MITRA bagi tahun 2025 yang lepas, yang dikemukakan secara dalam talian gagal tanpa sebarang kelulusan. Kasi ille [Berucap dalam bahasa Tamil] Apakah sebab utama kegagalan menyeluruh permohonan di kawasan ini dan adakah ia berpunca daripada ketidakpatuhan kepada kriteria, kelemahan dokumentasi atau kekangan sistem permohonan dalam talian itu sendiri?
Selanjutnya, apakah pihak MITRA ada menyediakan mekanisme panduan awal, khidmat nasihat, sesi libat urus kepada pemohon khususnya di kawasan luar bandar seperti Sabak Bernam bagi memastikan pemohon yang mengemukakan memenuhi syarat dan tidak ditolak atas faktor teknikal semata-mata?
Dan juga saya dapat aduan, MITRA ada menjanjikan kepada anak-anak yang melanjutkan pelajaran ke universiti untuk tahun pertama, tetapi sehingga sekarang masih tak dapat lagi. Jadi, ke mana sejumlah wang tersebut disalurkan sebenarnya?
Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Datoʼ Dr. Ramli bin Datoʼ Mohd Nor
Yang Berhormat Sabak Bernam pandai cakap Tamil ya.
[Dewan riuh]
Dato’ Sri Ramanan Ramakrishnan
Saya baru nak sebut Dato’ Yang di- Pertua.
Timbalan Yang di-Pertua - Datoʼ Dr. Ramli bin Datoʼ Mohd Nor
Yang Berhormat Menteri, silakan.
Dato’ Sri Ramanan Ramakrishnan
Yang Berhormat Sabak Bernam [Berucap dalam bahasa Tamil] [Ketawa]
Tuan Haji Azli bin Yusof - Shah Alam
[Bangun]
Dato' Mohd Isam bin Mohd Isa - Tampin
[Bangun]
Tuan Hassan bin Abdul Karim - Pasir Gudang
[Bangun]
Dato’ Sri Ramanan Ramakrishnan
Bagi menjawab soalan tersebut Yang Berhormat, sebenarnya semua program ini yang dilaksanakan oleh MITRA, saya telah mengarahkan bahawa semua penerima manfaat tersebut, nama mereka dipaparkan di laman web www.mitra.gov.my.
Jadi, kalau Yang Berhormat nak periksa siapa yang dapat bantuan ini, boleh periksa di laman web MITRA tersebut, tetapi saya tidak mempunyai angka secara detil bagi penerima-penerima manfaat bagi Sabak Bernam, tetapi saya akan mengarahkan pegawai-pegawai saya yang ada untuk memberi jawapan tersebut kepada Yang Berhormat secara bertulis.
Untuk pelaksanaan program-program— bagi contohnya graduan universiti tahun pertama yang telah disediakan, memang graduan ini sudah kami salurkan dana. Hampir— tidak silap saya RM4,000— RM4,000 kami dah bagi. Dana memang disalurkan, tetapi dia secara berfasa: it’s stage by stage. Itu nombor satu.
Nombor dua, contohnya bagi program laptop. Program laptop bagi pelajar yang masuk pada IPTA dengan IPTS, kita juga telah membekalkan 3,000 laptop baharu kepada mereka. Yayasan Didik Negara telah beli dan laptop itu sedia dan kami sedang mengagihkan laptop, laptop tersebut. Memang ada pemohon yang mereka mohon. Kita dah banyak kali kita sebutkan bahawa it is on— first come, first served basis.
Jadi, kalau mereka mungkin aplikasi mereka sudah sampai kepada tahap yang bukan sahaja memenuhi, tetapi sudah lebih daripada apa yang kami boleh bekalkan kepada pelajar-pelajar tersebut, tetapi bagi pengetahuan Yang Berhormat dan juga Ahli-ahli Dewan, banyak program yang telah dilaksanakan sudah pun capai status yang cemerlang.
Contohnya saya boleh bagi tahu sekarang, sebanyak 48.874 juta sudah kami salurkan. Sudah sampai ke tangan penerima manfaat, yang bakinya sedang di dalam proses penyaluran dan boleh kita periksa di dalam laman web www.mitra.gov.my seperti yang saya sebutkan tadi. Terima kasih Dato’ Yang di-Pertua.
Timbalan Yang di-Pertua - Datoʼ Dr. Ramli bin Datoʼ Mohd Nor
Silakan Yang Berhormat Shah Alam.
Tuan Haji Azli bin Yusof - Shah Alam
Terima kasih Dato’ Yang di-Pertua.
Terima kasih Yang Berhormat Menteri. Shah Alam juga mempunyai komuniti kaum India yang ramai sekitar 12 peratus. Dan pada tahun 2003, MITRA ada melibat urus— melakukan libat urus dengan Ahli Parlimen, pusat khidmat dan untuk kerja- kerja pembangunan ekonomi masyarakat kaum India, tetapi tahun 2004 tidak ada— kita tidak menerima apa-apa feedback. 2005 begitu juga.
Jadi, apakah perancangan pihak MITRA di bawah kementerian Yang Berhormat untuk meneruskan penglibatan pusat khidmat dan pemimpin komuniti setempat yang mungkin boleh dirujuk kerana kita mengetahui lebih rapat tentang perkembangan dan keperluan masyarakat kaum India di Parlimen kami? Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Datoʼ Dr. Ramli bin Datoʼ Mohd Nor
Yang Berhormat Menteri.
Dato’ Sri Ramanan Ramakrishnan
Terima kasih soalan tambahan daripada Yang Berhormat Shah Alam. Dato’ Yang di-Pertua, sebelum ini pada tahun 2023 memang program yang dirancangkan adalah sebanyak RM100,000 diberikan kepada Parlimen-Parlimen yang merangkumi kepadatan penduduk India yang paling besar.
Dia bukan mengikut Parlimen, tetapi mengikut daerah-daerah yang mempunyai kepadatan masyarakat India tempatan, but 2024, kadang-kadang kita— mereka banyak lagi program yang berlainan. Contohnya, kalau 2024 kita lihat— kita ada program pemerkasaan rumah ibadat, kita ada program bantuan untuk sekolah- sekolah penyelenggaraan, pembaikan kecil. Juga untuk pekerja-pekerja peladang yang diberikan bantuan bagi kepadatan isi rumah.
Juga program-program peranti mahasiswa, program-program tadika dan juga kemudahan awam dan keselamatan kampung India. Jadi, perekaan program- program ini berdasarkan untuk memberikan ruang kepada semua lapisan masyarakat India menerima bantuan daripada program-program yang dilaksanakan di MITRA, tetapi saya boleh bagi jaminan kepada Yang Berhormat Shah Alam, tahun ini kita akan pastikan kita buat balik program yang sama untuk memberikan sedikit peruntukan tambahan secara sasar.
Dato’ Sri Ramanan Ramakrishnan
Sebab, memang Ahli Parlimen tahu lebih banyak daripada kita yang duduk di MITRA sebab di kawasan mereka sendiri, mereka tahu di mana betul-betul masyarakat India yang memerlukan bantuan tersebut. Jadi, bagi tahun ini memang kita akan bekalkan. Terima kasih Yang Berhormat, terima kasih Dato' Yang di- Pertua.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato' Dr. Ramli bin Dato' Mohd Nor
Terima kasih Yang Berhormat Menteri. Majlis ke soalan yang ke-3. dipersilakan Tuan Ganabatirau a/l Veraman, Yang Berhormat Klang.
3. Tuan Ganabatirau a/l Veraman [Klang]: Terima kasih Dato' Yang di-Pertua.
Klang minta Menteri Perpaduan Negara menyatakan, adakah kerajaan bercadang untuk mewujudkan satu mekanisme atau badan penyelarasan di peringkat nasional bagi mengurus dan menyelaras hal ehwal agama selain Islam khususnya berkaitan isu tadbir urus rumah ibadat, pematuhan undang-undang, mediasi konflik komuniti dan keharmonian antara agama.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato' Dr. Ramli bin Dato' Mohd Nor
Silakan Menteri Perpaduan Negara untuk menjawab.
Menteri Perpaduan Negara - Datuk Aaron Ago anak Dagang
Terima kasih Yang Berhormat. Tuan Yang di-Pertua, Kerajaan MADANI sentiasa menjunjung tinggi prinsip kebebasan beragama seperti yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan selaras dengan semangat keharmonian dan kepelbagaian masyarakat majmuk di negara ini.
Perlembagaan Persekutuan melalui Perkara 3 memperuntukkan bahawa Islam ialah Agama Persekutuan namun agama-agama lain boleh amalkan dengan aman dan damai. Pada masa yang sama, hal ehwal agama serta urusan tanah adalah tertakluk di bawah bidang kuasa kerajaan negeri sebagaimana diperuntukkan di dalam Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan iaitu Senarai Negeri.
Untuk makluman Yang Berhormat, kerajaan negeri mempunyai kuasa dalam aspek berkaitan pentadbiran agama, urusan tanah, hak milik, pendaftaran serta pengambilan tanah. Oleh itu, sebarang perkara yang melibatkan penggunaan tanah dan pengurusan rumah ibadat perlu ditangani selaras dengan peruntukan undang- undang negeri serta melalui pendekatan rundingan dan kebenaran sosial.
Berhubung dengan― berhubung pertanyaan mengenai usaha menyelaras hal ehwal agama selain Islam khususnya berkaitan isu tadbir urus rumah ibadat dan tanah, setakat ini kesemua kerajaan negeri telah menubuhkan jawatankuasa khas bagi menyelaras perkara tersebut.
Sebagai contoh, di Sarawak kita ada UNIFOR, di Pulau Pinang kita ada Jawatankuasa Penyelaras Rumah Ibadat Bukan Islam, di Selangor kita ada Jawatankuasa Khas Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao dinamakan LIMAS, di Perlis kita ada Jawatankuasa Rumah Ibadat Bukan Islam Negeri Perlis, di Wilayah Persekutuan kita ada Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Rumah Ibadat Bukan Islam Wilayah Persekutuan dan lain-lain di semua negeri sudah ada jawatankuasa khas.
Manakala Kerajaan Persekutuan akan terus memainkan peranan sebagai pemudah cara bagi memastikan setiap isu berkaitan agama ditangani secara berhemah, adil dan selari dengan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara demi memelihara perpaduan nasional dan keharmonian masyarakat.
Untuk makluman juga, di peringkat Kementerian Perpaduan Negara, kita telah tubuhkan beberapa jawatankuasa yang berperanan sebagai platform untuk mengurus dan menyelaras isu perpaduan dan keharmonian antara agama. Sebagai contoh kita mempunyai Majlis Penasihat Negara (MPPN), kita juga ada Jawatankuasa Keharmonian Terhadap Penganut (HARMONI), kita juga ada Jawatankuasa Pengurusan Isu Perpaduan (JPIP).
Di peringkat komuniti, konflik ataupun isu-isu agama dan perpaduan diuruskan oleh mediator komuniti. Sekarang kita sudah mempunyai 571 mediator komuniti yang bertauliah bekerja pro bono tanpa melibatkan litigasi dan perundangan. Bagi kes-kes yang memerlukan tindakan bersepadu antara agensi, isu atau insiden akan dirujuk kepada agensi yang berkaitan seperti Polis Diraja Malaysia, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia dan pihak berkuasa tempatan (PBT).
Kementerian juga telah tubuhkan sembilan buah pusat mediasi komuniti dalam memberikan khidmat mediasi kepada komuniti. Melalui pendekatan whole-of- government approach yang bersepadu di antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri komited untuk memastikan setiap isu berkaitan hal ehwal agama ditangani secara tegas tetapi berhemah berlandaskan Perlembagaan Persekutuan, menghormati kedaulatan undang-undang serta memelihara keharmonian perpaduan dan kestabilan negara. Sekian, terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato' Dr. Ramli bin Dato' Mohd Nor
Silakan Yang Berhormat Klang, soalan tambahan.
Tuan Ganabatirau a/l Veraman - Klang
Terima kasih Dato' Yang di-Pertua.
Saya ucapkan terima kasih kepada Menteri kerana menjawab begitu baik. Saya ingin juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada Yang Berhormat Menteri Perpaduan atas kenyataan baru-baru ini yang menyeru rakyat untuk tidak menjadikan agama sebagai alat perbalahan demi menyatupadukan kaum. Terima kasih kerana statement begitu.
Sehubungan itu, saya ingin bertanya kepada Yang Berhormat Menteri bahawa adakah tindakan tegas akan diambil terhadap pelampau-pelampau agama atau pencari makan seperti Zamri Vinoth dan Firdaus Wong yang sentiasa menghina, memperkecilkan dan melakukan sindiran terhadap agama lain dengan niat mewujudkan konflik? Adakah Menteri sedar bahawa sekiranya pelampau sebegini dibiarkan tanpa tindakan, keutuhan dan keamanan negara akan terus terhakis?
Tidak ada jalan mudah, hanya berdiam diri daripada KDN. Saya rasa sebagai Menteri, mungkin Menteri boleh bawa dalam Kabinet juga.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato' Dr. Ramli bin Dato' Mohd Nor
Silakan Menteri.
Datuk Aaron Ago anak Dagang
Terima kasih. Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua, kerajaan memang memandang serius tentang sebarang bentuk ekstremisme agama yang mengancam keharmonian masyarakat serta keselamatan negara. Kerajaan ingin menegaskan bahawa tindakan tegas dan tanpa kompromi boleh diambil terhadap mana-mana individu atau kumpulan yang menyalahgunakan agama untuk menyemai kebencian menghasut perpecahan atau mencabar ketenteraman awam.
Walaupun kebebasan bersuara dijamin tetapi hak tersebut tidak bersifat mutlak dan tidak boleh disalahgunakan sehingga menyentuh isu-isu di bawah 3R.
Apa lagi kalau mendorong kepada kebencian, hasutan dan keganasan. Repotan sedemikian adalah jelas bertentangan dengan undang-undang dan nilai hidup bersama dalam sesebuah negara makmur.
Kementerian Perpaduan Negara menyokong sepenuh tindakan Polis Diraja Malaysia yang bekerjasama rapat dengan Jabatan Peguam Negara untuk mengenal pasti, menyiasat dan mendakwa pihak-pihak terlibat mengikut peruntukan undang- undang sedia ada, termasuk Akta Hasutan, Kanun Keseksaan serta Akta Komunikasi dan Multimedia.
Kerajaan juga komited untuk memastikan ruang media sosial kekal sebagai platform yang selamat, beretika dan bertanggungjawab. Tiada toleransi yang akan diberikan kepada mana-mana bentuk ekstremisme, sama ada di dunia fizikal mahupun digital. Prinsip undang-undang akan ditegakkan dengan tegas demi mempertahankan keharmonian perpaduan nasional dan kedaulatan negara. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato' Dr. Ramli bin Dato' Mohd Nor
Silakan Yang Berhormat Kapar.
Dr. Hajah Halimah Ali - Kapar
Terima kasih Timbalan Speaker. Masalah sebenar― bukan emosi ya. Isu tapak rumah ibadat sering dibiarkan bertahun-tahun oleh pihak berkuasa tempatan. Hanya meletup apabila ada aduan atau tekanan politik. Kemudian dinaratifkan sebagai isu agama, bukan kegagalan tadbir urus. Ini bukan konflik agama, ini kegagalan SLA kerajaan.
Soalan saya, bilakah kerajaan akan menetapkan kerangka antiprovokasi nasional bersama perjanjian tahap perkhidmatan atau SLA, bagi aduan jangka masa bertindak yang jelas serta melaksanakan tindakan berfasa dan seragam terhadap rumah ibadat yang dibina tanpa kelulusan dengan tempoh pemutihan bertarikh:
dated sebelum dikenakan kompaun atau arahan penutupan.
So, pihak berkuasa tempatan perlu menjalankan tugas mereka secara profesional tanpa masuk campur orang politik atau sesiapa yang menjadi batu api ini yang menyemarakkan provokasi hingga ia nya menjadi isu keagamaan. Padahal ini adalah isu pentadbiran semata-mata. Dan juga sebagai Menteri Perpaduan yang saya dengar jawapan selama ini kan, boleh tak jadi mediator kepada yang disebut tadilah...
Datuk Aaron Ago anak Dagang
Boleh, boleh.
Dr. Hajah Halimah Ali - Kapar
Saya pun tak kenal kan. So, untuk― KDN satu hal kan. Speaker pun ada ini ya, tetapi sebagai mediator, dengar kepada mereka yang telah disebutkan tadi, Menteri sendiri dengar kenapa dia cakap begitu. Apa isu sebenarnya? Barulah adil kepada semua pihak. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Silakan, Menteri.
Datuk Aaron Ago anak Dagang
Terima kasih Yang Berhormat. Berkenaan dengan rumah ibadat yang disebutkan tadi, memang itu sudah satu isu hangat yang di-debate-kan selama ini dan Kementerian Perpaduan Negara memandang serius perbincangan dan reaksi yang sedang tular di media sosial berhubung isu rumah ibadat yang didakwa dibina tanpa kelulusan dan sebagainya.
Isu ini perlu ditangani secara berhemah, profesional dengan berlandaskan semangat perpaduan tanpa mengeruhkan lagi hubungan antara kaum dan agama.
Ingin ditegaskan bahawa Kerajaan MADANI tidak pernah memandang ringan soal kebebasan beragama yang terjamin di Perkara 3 yang telah disebutkan tadi. Pada masa yang sama, kerajaan juga bertanggungjawab untuk menegakkan kedaulatan undang-undang, termasuk hal pengurusan tanah dan perancangan pembangunan.
Untuk makluman, Perlembagaan Persekutuan menyentuh hal ehwal agama dan tanah seperti yang saya sebutkan tadi terletak dalam bidang kuasa negeri dan Yang Berhormat pun faham sebarang isu dengan tanah adalah di bidang kuasa Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan. Tetapi bagi kita di kementerian, kita berharap— pendekatan kerajaan sentiasa berteraskan dialog dan rundingan untuk semua pihak dan kita berharap penyelesaian secara berperingkat dan perikemanusiaan.
Dan kita berharap usaha penempatan yang saya selalu sebutkan adalah satu usaha yang akan memberi keadilan dan terancang kepada yang terlibat. Dan juga kita mengharapkan sebarang tindakan tergesa-gesa yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat perlu dielakkan.
Bagi kita di Kementerian Perpaduan Negara, kita memang mempunyai beberapa jalan untuk kita menyelesaikan masalah ini dari segi kita berharap masyarakat tidak membuat kenyataan berbaur provokasi dan juga kita berharap tidak menyebarkan maklumat yang belum disahkan dan kita juga berharap sensitiviti agama dan budaya tidak disentuh. Dan kita berharap memberi ruang kepada proses perbincangan.
Seperti kita sedia maklum, perpaduan adalah aset kebesaran negara dan ia tidak boleh dikorbankan kerana salah faham, emosi, atau naratif dan kita bertanggungjawab di media sosial. Kementerian Perpaduan komited untuk terus menjadi jambatan dialog dan pemudah cara melalui mediator kita yang berada di peringkat komuniti. Bagi kita di kementerian, kita sudah mengadakan beberapa agenda ataupun sebagaimana kita dapat uruskan masalah-masalah yang terjadi di peringkat komuniti. Kita sudah adakan Projek Rakan, iaitu rujukan oleh masyarakat kalau ada soalan-soalan atau pertanyaan yang melibatkan salah faham di antara komuniti. Sekian, terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Ahli-ahli Yang Berhormat, sekarang tamat sesi untuk Pertanyaan-pertanyaan Menteri.
[Sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri tamat]
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Sesi tanya lisan dan jawab lisan. Saya persilakanlah yang pertama, Yang Berhormat Ir. Ts. Zahir bin Hassan, Yang Berhormat Wangsa Maju.
Ir. Ts. Zahir bin Hassan - Wangsa Maju
Terima kasih, Dato' Yang di- Pertua.
Pergi berkelah di tepi muara, Singgah sebentar memetik kelapa; Tanpa berlengah kita bermula, Wangsa Maju soalan pertama.
1. Ir. Ts. Zahir bin Hassan [Wangsa Maju] minta Menteri Ekonomi menyatakan, perancangan kerajaan untuk meningkatkan tafsiran yang lebih luas termasuk trend sepanjang masa, faktor sosial dan metrik ketaksamaan lain untuk analisa yang lebih komprehensif seperti Keluk Lorenz, Indeks Atkinson, Nisbah Palma selain Pekali Gini yang lebih menunjukkan ketaksamaan ekonomi.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Silakan, Menteri Ekonomi.
Timbalan Menteri Ekonomi - Dato’ Indera Mohd Shahar bin Abdullah
Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih Dato' Yang di-Pertua. Terima kasih, Yang Berhormat Wangsa Maju.
Kerajaan mengukur tahap pembangunan sosioekonomi termasuk kesenjangan melalui pelbagai pengukuran dan petunjuk untuk perancangan pembangunan negara. Selain daripada Pekali Gini, pengukuran ketidaksamaan pendapatan juga diukur melalui pengukuran Indeks Theil, Indeks Atkinson, Nisbah Serakan Persentil dan Nisbah Palma.
Analisis ini, Tuan Yang di-Pertua, adalah berdasarkan data daripada Survei Pendapatan dan Perbelanjaan Isi Rumah (HIES) yang dilaksanakan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM). Berdasarkan statistik terkini Ahli Yang Berhormat, daripada laporan ketidaksamarataan pendapatan HIES 2024, Pekali Gini pada tahun 2024 adalah 0.390 menurun, berbanding 0.404 mata pada tahun 2022. Ini selari dengan trend jurang agihan pendapatan yang semakin mengecil.
Pekali Gini ini merujuk kepada pengukuran pemusatan pendapatan menggunakan Kelok Lorenz. Selain Pekali Gini, Indeks Theil merupakan satu pengukuran kuantitatif yang digunakan untuk menilai ketidaksamarataan dalam agihan pendapatan atau kekayaan dalam sesebuah populasi dan menguraikan jumlah ketidaksamaan kepada ketidaksamaan dalam kumpulan dan antara kumpulan.
Analisis perbandingan nilai Indeks Theil di antara 2022 dan 2024 mencatatkan perubahan ketara dalam ketidaksamarataan merentas pelbagai jenis pendapatan. Pendapatan isi rumah kasar menurun, mencatatkan penurunan kepada 0.287 pada tahun 2024 dan daripada 0.303 pada tahun 2022.
Ahli Yang Berhormat, Indeks Atkinson mengukuh kesenjangan dengan mengambil kira kepekaan masyarakat terhadap jurang pendapatan terutamanya golongan berpendapatan rendah. Indeks ini berguna untuk menilai kesan dasar pengagihan manakala Nisbah Serakan Persentil pula membandingkan tahap pendapatan dua persentil terpilih dalam taburan pendapatan seperti 10 peratus teratas dan 10 peratus terbawah. Di samping itu, analisis Nisbah Palma turut dijalankan bagi melihat ketidaksamarataan pendapatan yang membandingkan pendapatan 10 peratus teratas dengan 40 peratus terbawah.
Secara keseluruhan, Tuan Yang di-Pertua, Ahli Yang Berhormat, semua pengukuran kesenjangan pendapatan di atas menunjukkan trend menurun yang konsisten ke arah pengurangan ketidaksamarataan pendapatan di Malaysia dari tahun 2022 hingga 2024. Laporan HIES 2024 juga menyediakan perincian nilai dan jadual teknikal yang merangkumi pengukuran nilai Gini— Pekali Gini, Indeks Theil, Indeks Atkinson dan Nisbah Serakan Persentil mengikut etnik, negeri, dan strata.
Penggunaan indikator berbeza seperti Pekali Gini, Indeks Theil, Indeks Atkinson dan Nisbah Serakan Persentil membantu kerajaan menilai bukan sahaja sejauh mana jurang ketidaksamarataan pendapatan, tetapi juga membuat keputusan berasas data.
Tuan Yang di-Pertua, di samping pengukuran tersebut, dalam Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) 2026–2030, kerajaan memberi penekanan kepada usaha mempertingkatkan kecekapan perancangan dan tadbir urus pembangunan wilayah melalui pengenalan Indeks Komposit Pembangunan Malaysia (IKPM).
Indeks ini merangkumi lima komponen utama iaitu fiskal dan spatial, ekonomi, sosial dan tadbir urus serta alam sekitar.
IKPM membolehkan kerajaan menilai dan melihat perbezaan pembangunan dari pelbagai sudut bukan hanya pendapatan dan KDNK semata-mata bagi membantu merangka dasar intervensi pembangunan yang lebih tepat dan berkesan.
Terima kasih, Dato' Yang di-Pertua.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Silakan, soalan tambahan Yang Berhormat Wangsa Maju.
Ir. Ts. Zahir bin Hassan - Wangsa Maju
Terima kasih, Timbalan Menteri.
Jawapan yang begitu lengkap saya kira dan ia telah meyakinkan kita bahawa memang kerajaan menilai keadaan semasa itu mengikut data-data dan indeks- indeks yang ada. Dan saya kira kalau boleh saya pohon untuk kongsikan data-data itu secara lengkap dan sempurna kepada semua Yang Berhormat.
Soalan saya berikutnya, adakah indeks-indeks lain ataupun parameter- parameter lain yang sedang dipertimbangkan untuk kerajaan menggunakan bagi memastikan bahawa kita punya penilaian keadaan semasa negara yang lebih tepat.
Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Yang Berhormat Menteri.
Dato’ Indera Mohd Shahar bin Abdullah
Terima kasih Dato' Yang di- Pertua. Terima kasih Ahli Yang Berhormat Wangsa Maju.
Indeks-indeks yang saya sebutkan tadi adalah indeks-indeks untuk kita melihat ketidaksamarataan kerana untuk makluman Yang Berhormat, kita melihat dahulunya kemiskinan mutlak itu sebagai agenda utama pembasmian kemiskinan, tetapi selepas kita melihat prestasi-prestasi dan KPI-KPI-nya agak memberangsangkan dan kita melihat sudah ada keputusan-keputusan, perubahan- perubahan yang positif dan kerajaan hari ini telah bergerak kepada kemiskinan relatif dan kemiskinan pelbagai dimensi dan kesenjangan.
Dato’ Indera Mohd Shahar bin Abdullah
Itu sebabnya apabila kita melihatkan kepada kesenjangan Ahli Yang Berhormat, kita juga melihat indeks-indeks yang lain, yang kita berada di bawah DOSM dan di bawah agensi-agensi antarabangsa untuk kita ambil dia sebagai satu pendekatan holistik. Bukan semata-mata kita melihat kepada perbelanjaan, pendapatan atau pun pengeluaran tetapi kita juga melihat dari segi indeks-indeks yang memberi terjemahan kepada level syarikat dan level individu tersebut. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Silakan Yang Berhormat Setiu.
Tuan Shaharizukirnain bin Abd Kadir - Setiu
Timbalan Yang di-Pertua, terima kasih. Soalan tambahan saya, berdasar kepada jawapan Timbalan Menteri tadi mengatakan bahawa empat kaedah pengukuran digunakan iaitu Keluk Loren, Indeks Kingston dan Nisbah Palma, selain daripada Pekali Gini, itu dalam nak mengukur jurang pendapatan. Adakah kerajaan juga bercadang untuk mengukur jurang kekayaan: wealth inequality yang melibatkan pemilikan aset, hartanah dan juga perniagaan?
Yang kedua, adakah kerajaan bersedia untuk membangunkan satu indeks mobiliti sosial untuk mengukur peluang-peluang yang diperolehi oleh anak muda untuk meningkatkan taraf hidup mereka? Sekian, terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Silakan Menteri.
Dato’ Indera Mohd Shahar bin Abdullah
Terima kasih Ahli Yang Berhormat, terima kasih Dato' Yang di-Pertua. Pertama Yang Berhormat, takrifan kepada punca pendapatan adalah melibatkan pekerjaan bergaji, bekerja sendiri, harta dan pelaburan serta pindahan semasa yang diterima.
Tafsiran ini amat penting untuk kita fahami kerana kita ada kajian di setiap lima tahun, kita dua kali HIES iaitu survey pendapatan dan perbelanjaan isi rumah.
Kerana apa? Ini juga akan memberi pendekatan dan pengetahuan terkini berkaitan perubahan komposisi sosioekonomi dan corak perbelanjaan masyarakat sama ada berada di T20, M40 dan B40.
Indeks yang saya sebutkan tadi Yang Berhormat, dia pelbagai. Sepertimana soalan asal Yang Berhormat Wangsa Maju, ia bukan sahaja tertumpu kepada pendapatan, ia juga melihat kesenjangan di antara 10 yang teratas, 10 yang terbawah, 40 yang teratas, 40 yang terbawah. Dan semua maklumat ini kita rangkumkan dalam tindakan-tindakan kita, dalam kita membuat sama ada kita buat polisi, sama ada kita buat program ataupun kita buat projek.
Yang Berhormat sebutkan tadi, yang kedua adalah berkaitan bagaimana untuk kita melihat tempat-tempat dan lokasi-lokasi untuk anak-anak muda atau masyarakat yang berada di luar bandar. Itu sebabnya dalam Rancangan Malaysia Ketiga Belas, kita memperkenalkan Indeks Komposit Pembangunan Malaysia yang komprehensif untuk menilai, sepertimana jawapan yang terakhir saya sebutkan tadi, pembangunan spatial dan fizikal, ekonomi, sosial, alam sekitar dan tadbir urus. Di dalam kajian ini Yang Berhormat, kita memberi tumpuan kepada kawasan-kawasan yang seperti Yang Berhormat maklumkan tadi, supaya kita tidak ada kesenjangan.
Bukan sahaja dari segi pendapatan tetapi kesenjangan dari segi wilayah tersebut.
Terima kasih Dato' Yang di-Pertua.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Yang Berhormat Menteri Ekonomi, satu soalan dari Ahli Parlimen Cameron Highlands.
Yang Berhormat, ada tak indeks ekonomi masyarakat orang asli Malaysia?
Dato’ Indera Mohd Shahar bin Abdullah
Kita tidak ada spesifik Yang Berhormat, untuk melihat indeks kepada etnik secara sepertimana Yang Berhormat sebutkan tadi tetapi kita melihat dari segi di mana lokaliti mereka berada.
Sekiranya di tempat Yang Berhormat Cameron Highlands, pos berdekatan dengan Cameron Highlands. Kita akan melihat dari segi lokaliti dalam kawasan daerah tersebut. Dan ia akan kita terjemahkan dalam bentuk pendapatan, yang kita akan melihat bagaimana kesenjangan dan polisi serta program dan projek intervensi yang kita akan lakukan. Terima kasih Yang Berhormat.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Majlis ke soalan yang ke-2. Sebelum itu, Yang Berhormat Pekan ada? Yang Berhormat Pekan.
Oh, baik, baik. Saya mempersilakan untuk soalan yang ke-2, Dato’ Rosol bin Wahid, Yang Berhormat Hulu Terengganu.
Dato’ Rosol bin Wahid - Hulu Terengganu
Terima kasih Yang di-Pertua dan terima kasih kerana sangat prihatin kepada orang asal, orang asli. Sebelum saya— sebelum soalan 2, saya baca satu pantun.
Dari Jeffrey Epstein ke isu sempadan Nunukan, Soalan kedua Hulu Terengganu kemukakan. Terima kasih Yang di-Pertua.
2. Dato' Rosol bin Wahid [Hulu Terengganu] minta Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup menyatakan, berapakah jumlah kes penipuan atau scam melibatkan transaksi jual beli yang dilaporkan sejak 2023 hingga kini dan berapakah jumlah kes yang telah dikenakan tindakan mahkamah dalam tempoh itu serta apakah jenis hukuman dikenakan
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Yang Berhormat Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, silakan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup - Datuk Armizan bin Mohd Ali
Terima kasih Dato' Yang di-Pertua. Assalamualaikum dan salam sejahtera. Dato' Yang di-Pertua, kes penipuan atau scam yang melibatkan transaksi jual-beli boleh disiasat di bawah beberapa kerangka perundangan di bawah bidang kuasa kementerian dan agensi, bergantung kepada jenis dan kategori kesalahan.
KPDN mempunyai kuasa— mempunyai bidang kuasa dalam menjalankan pemantauan dan penyiasatan ke atas sebarang bentuk representasi palsu, mengelirukan atau memperdaya dalam sebarang aktiviti perniagaan yang dilakukan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab ke atas pengguna. Antara punca kuasa perundangan yang berkaitan adalah bersandarkan kepada Akta Perlindungan
Pengguna 1999 - Akta 599], Akta Perihal Dagangan 201
, Akta Timbang
dan Sukat 1972 - Akta 71], Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 201
dan Akta Jualan Langsung dan Skim Anti-Piramid 1993 [Akta 500].
Berdasarkan statistik dari tahun 2023 hingga 2025, sebanyak 136,082 merangkumi pelbagai kategori aduan telah diterima. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 83,239 aduan melibatkan bidang kuasa KPDN. Kategori aduan tertinggi adalah melibatkan dakwaan penipuan atas talian iaitu berjumlah RM33,400 dengan jenis-jenis aduan yang diterima antaranya ialah seperti berikut; harga barang perkhidmatan mengelirukan, tidak menerima barang perkhidmatan yang ditawarkan, barang perkhidmatan yang diterima tidak seperti yang ditawarkan, cetak rompak dalam talian, barang tiruan dalam talian dan menaja skim piramid dalam talian.
Bentuk hukuman adalah berbeza mengikut jenis kesalahan dan undang- undang yang berkuat kuasa. Sebagai contoh, dalam tempoh 2023 hingga 2025, sebanyak 1,136 kes telah dihasilkan, melibatkan kesalahan di bawah Akta 599, 730, 571 dan Akta 723 dan jumlah kompaun keseluruhan berjumlah 880,625. Manakala bagi kes di bawah Akta 599, sebanyak dua kes telah didakwa di mahkamah, melibatkan kesalahan di bawah peruntukan seksyen 12, Akta 599 iaitu gambaran mengelirukan mengenai harga dengan jumlah keseluruhan denda yang telah dikenakan sebanyak RM16,500.
KPDN menyeru dan menggalakkan orang ramai untuk menjadi mata dan telinga pihak berkuasa dengan menyalurkan aduan rasmi yang lengkap di platform- platform yang telah disediakan. Dan orang ramai diminta untuk terus menyalurkan maklumat bagi memastikan kepentingan pengguna terpelihara selain peniaga kekal patuh kepada undang-undang yang dikuatkuasakan. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Soalan tambahan. Yang Berhormat, silakan.
Dato’ Rosol bin Wahid - Hulu Terengganu
Terima kasih Yang di-Pertua, terima kasih Menteri yang menjawab berkaitan dengan akta-akta. Cuma apa yang kita faham bahawa dengan ada akta tersebut, masih ada ruang ataupun lompang untuk ditembusi oleh pihak scammer. Persoalan saya, apakah kerajaan mempunyai cadangan untuk menambahkan hukuman yang lebih berat terhadap scammer jualan ini, termasuk merotan mereka sebagaimana yang dilakukan di negara jiran kita?
Dan yang kedua, apakah yang terjadi dengan cadangan untuk melaksanakan lesen khas perniagaan atas talian iaitu dalam menangani isu peningkatan e-dagang supaya pihak kementerian mempunyai data bagi semua yang berdaftar tersebut untuk disimpan dan untuk diambil tindakan terhadap mereka yang menjadi scammer dalam talian ini? Terima kasih Yang di-Pertua.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Silakan Yang Berhormat Menteri.
Datuk Armizan bin Mohd Ali
Terima kasih Yang Berhormat. Pertama, soalan dari segi hukuman. Sekarang, hukuman berbeza mengikut bidang kuasa undang-undang yang wujud. Bukan hanya KPDN, tetapi juga kementerian lain, melibatkan sama ada kompaun, penalti ataupun penjara...
Dato’ Mohd Isam bin Mohd Isa - Tampin
[Bangun]
Dato Dr. Richard Rapu @ Aman anak Begri - Betong
[Bangun]
Tuan Mohamad Shafizan Haji Kepli - Batang Lupar
[Bangun]
Datuk Armizan bin Mohd Ali
Namun Yang Berhormat, dari segi bentuk hukuman itu, sekiranya ada kesalahan yang melibatkan, dengan izin predicate offense – kesalahan predikat, bukan hanya daripada undang-undang yang berkenaan, tetapi juga boleh disiasat, didakwa melalui AMLA yang akan menyebabkan illegal games dengan izin, ataupun illegal profit yang mereka perolehi itu boleh disita ataupun dirampas.
Jadi, ini fokus kita sekarang adalah untuk meningkatkan penguatkuasaan.
Kerana kita melihat hukuman yang sedia itu, dengan mengambil kira sekiranya yang melibatkan jumlah yang besar, illegal games yang besar, boleh diambil tindakan juga melalui AMLA.
Datuk Armizan bin Mohd Ali
Yang kedua, berkaitan dengan e-dagang. Sebagaimana yang saya sebutkan tadi Yang Berhormat, memang daripada aduan lebih 136,000 yang kita terima, yang tertinggi adalah aduan berkaitan e-dagang, 33,400. Atas sebab itu kita melaksanakan kajian untuk kita melaksanakan reformasi kepada kerangka perundangan e-dagang yang sedia ada dan antara, kalau boleh saya kongsikan antara dapatan kajian tersebut adalah cadangan untuk mewujudkan, keperluan mewujudkan satu framework, kerangka penyelesaian pertikaian yang lebih komprehensif.
Dan dalam cadangan tersebut adalah cadangan untuk diwujudkan platform ODR bersepadu yang lebih komprehensif iaitu online dispute resolution sebagai penambahbaikan kepada alternative dispute resolution (ADR) yang sedia ada yang akan melibatkan proses rantaian yang lengkap, daripada pemfailan hinggalah ke proses adjudikasi ataupun keputusan tersebut. Berbeza dengan ADR sekarang yang masih lagi ada melibatkan elemen manual ataupun fizikal. Jadi, kita akan laksanakan dengan sokongan.
Kita harap kita sasarkan dapat bentangkan dalam Mesyuarat yang akan datang. Kita harap sokongan daripada Ahli-ahli Yang Berhormat supaya pindaan- pindaan yang dilaksanakan, reformasi yang kita ingin bawa ini kepada perundangan e-dagang ini untuk mewujudkan ekosistem e-dagang yang lebih sihat, mampan dan progresif, mengambil kira juga kepada jumlah aduan yang tinggi.
Jadi, yang dicadangkan, yang disebutkan oleh Yang Berhormat tadi, salah satu perkara adalah berkaitan dengan cadangan licensing. Ada dua cadangan dalam kajian tersebut. Sama ada diperkenalkan rejim pelesenan ataupun melalui risk approach ataupun penilaian berasaskan risiko.
Jadi, ini dua yang masih kita pertimbangkan dan kita akan angkat kepada Jemaah Menteri untuk mendapatkan keputusan dasar sebelum keputusan dibawa dalam RUU tadi, sama ada menggunakan rejim pelesenan ataupun risk-based approach yang melibatkan self-compliance daripada pengendali-pengendali platform e-dagang ini. Jadi, ini dua pertimbangan yang akan kita laksanakan. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Silakan Yang Berhormat Tampin.
Dato’ Mohd Isam bin Mohd Isa - Tampin
Terima kasih Dato' Yang di- Pertua. Yang Berhormat Menteri, terlebih dahulu saya ingin mengucapkan ucapan tahniah buat pasukan KPDN yang telah menyita 3,545 keping emas tidak tulen bernilai RM82,000 pada bulan lalu. Isu barangan tidak tulen ini cukup mendesak dan tidak kurang juga ramai yang telah menjadi mangsa kerana terpedaya dengan harga yang ditawarkan lebih murah.
Soalan saya, apakah usaha KPDN untuk menyekat barangan tidak tulen ataupun barangan tiruan ini daripada terus didagangkan di platform online dan apakah mekanisme pemulihan ataupun resolusi yang disediakan untuk mangsa scam transaksi jual beli dan sejauh mana keberkesanannya untuk membantu mangsa mendapatkan semula kerugian mereka. Terima kasih Dato' Yang di-Pertua.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Silakan, Menteri.
Datuk Armizan bin Mohd Ali
Terima kasih Yang Berhormat. Kalau kita melihat daripada segi apa yang disebut sebagai penipuan ataupun scam ini dalam kerangka perundangan yang ada di negara kita sedia ada, ia merentasi pelbagai kementerian dan juga agensi. Bank Negara Malaysia, KPDN, SSM, Suruhanjaya Sekuriti dan juga PDRM.
Jadi, pelbagai. Ia bergantung kepada dengan izin, nature of the case dan juga legal issues yang berbangkit dan itu yang saya sebutkan tadi, amat penting Yang Berhormat, untuk kita masukkan dalam kerangka reformasi undang-undang e- dagang itu adalah untuk kita meningkatkan perlindungan kepada pengguna.
Dan antaranya, dengan adanya apa yang saya sebutkan tadi, ODR tersebut, ia akan sekali gus mempercepatkan sebarang proses aduan dan dengan adanya online dispute resolution itu juga akan menyebabkan supaya pihak-pihak, para peniaga yang terlibat dalam transaksi atas talian ini akan lebih berhati-hati dengan ketelusan, dengan sebarang bentuk tindakan pemalsuan ataupun apa yang mengelirukan dari segi perihal dagangan dan sebagainya.
Jadi, kita ambil perhatian apa yang disebutkan oleh Yang Berhormat tadi dan inilah antara 11 perkara sebenarnya dalam dapatan kajian reformasi undang-undang e-dagang ini yang akan diambil kira untuk kita mendapatkan keputusan dasar.
Namun ingin saya sebutkan Dato' Yang di-Pertua, yang penting juga, selain daripada kerangka perundangan yang komprehensif, selain daripada penguatkuasaan yang cekap, kesedaran di peringkat pengguna itu juga penting.
Atas sebabnya di peringkat KPDN tahun ini, kita akan memfokuskan kepada kesedaran, kecelikan pengguna dalam terlibat dalam transaksi jual beli secara atas talian ini.
Ini kerana kecelikan mereka terhadap undang-undang dan juga perkara- perkara yang terkait dengan transaksi pembelian atas talian ini amat penting. Bukan hanya untuk menyalurkan aduan, tetapi supaya mereka tidak terlibat ataupun tidak terpedaya dengan sebarang amalan perniagaan yang akan boleh merugikan.
Jadi, insya-Allah Yang Berhormat, memang kajian telah kita mulakan sejak dua tahun yang lalu dan insya-Allah kita akan sasarkan dalam mesyuarat yang akan datang. Kita akan tampil dengan reformasi undang-undang e-dagang yang akan mengambil kira, termasuklah perkara yang disebutkan oleh Yang Berhormat sebentar tadi. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Terima kasih Yang Berhormat Menteri. Majlis ke soalan yang ke-3. Dipersilakan Dato’ Sri Sh Mohmed Puzi bin Sh Ali, Yang Berhormat Pekan.
Dato’ Sri Sh Mohmed Puzi bin Sh Ali - Pekan
Terima kasih Dato’ Speaker.
Tadi Dato’ Speaker tanya Pekan ada ke tak ada. Alhamdulillah pada sesi ini, saya dapat bersama-sama di Dewan yang mulia ini setelah menjalani pembedahan jantung baru-baru ini. Jadi yang lain itu, silalah periksa kesihatan juga ya.
Dato’ Speaker, soalan Pekan soalan nombor 3.
3. Dato’ Sri Sh Mohmed Puzi bin Sh Ali [Pekan] minta Menteri Sumber Manusia menyatakan, apakah inisiatif terbaharu dalam memperluaskan skop perlindungan sosial kepada pekerja termasuk golongan pekerja gig, kontrak dan separuh masa yang masih terpinggir.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Dipersilakan Menteri Sumber Manusia.
Timbalan Menteri Sumber Manusia - Tuan Khairul Firdaus bin Akbar Khan
Tuan Yang di-Pertua, kerajaan sentiasa komited memperluaskan skop perlindungan sosial bagi semua kategori pekerja termasuk pekerja gig, kontrak dan separuh masa demi menjaga kepentingan bersama. Beberapa inisiatif telah dilaksanakan oleh Kementerian Sumber Manusia bagi memperkukuh kesejahteraan
golongan pekerja ini. Penggubalan Akta Pekerja Gig 2025 - Akta 872
merupakan satu langkah penting yang menyediakan rangka kerja perundangan bagi melindungi pekerja gig.
Akta ini secara langsung menetapkan hak dan perlindungan minimum kepada pekerja gig, khususnya daripada segi upah, keselamatan pekerjaan serta akses kepada mekanisme aduan. Selaras dengan akta ini, Majlis Perundingan Gig
(MPG) akan ditubuhkan sebagai platform tripartite yang melibatkan wakil kerajaan, wakil pekerja gig dan wakil entiti kontrak. Majlis ini berperanan menasihati dan mengemukakan syor kepada kerajaan berkaitan kadar pendapatan minimum, formula dan standard minimum yang akan diguna pakai serta apa-apa perkara lain yang berhubung dengan pekerja gig atau entiti kontrak.
Di samping itu, kerajaan juga telah memperluas liputan perlindungan sosial
melalui pindaan kepada Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 - Akta 4
. Pada 18 Disember 2025, rang undang-undang RUU Keselamatan Sosial Pekerja (Pindaan) 2025 telah diluluskan di Dewan Negara.
Pindaan ini memperkenalkan Skim LINDUNG 24 jam yang menyediakan perlindungan menyeluruh kepada pekerja yang layak sepanjang tempoh penggajian termasuk bagi kemalangan yang berlaku di luar waktu kerja dan tidak terkait secara langsung dengan pekerjaan.
Skim ini menawarkan pelbagai manfaat antaranya faedah perubatan, faedah hilang upaya sementara, faedah hilang upaya kekal, elaun layanan sentiasa, faedah orang tanggungan, faedah pengurusan mayat serta faedah pemulihan atau pendidikan bagi memastikan kesejahteraan pekerja dan sokongan kepada keluarga mereka.
Seterusnya, kerajaan telah menambah baik Akta Sistem Insurans Pekerjaan
2017 - Akta 800
melalui kenaikan elaun pencari kerja dan latihan kemahiran serta pengenalan elaun mobiliti sebanyak RM1,000 di bawah skim LINDUNG KERJAYA bagi individu yang menerima tawaran pekerjaan melebihi 100km dari tempat tinggal asal. Langkah ini bertujuan menggalakkan mobiliti tenaga kerja serta meningkatkan kebolehpasaran pencari kerja.
Kementerian melalui PERKESO secara berterusan mencari mekanisme yang terbaik dalam memastikan kelompangan sistem perlindungan sosial negara dapat ditampung dengan sepenuhnya. Antaranya termasuk penambahbaikan faedah- faedah di bawah skim LINDUNG KENDIRI termasuk kajian kebolehlaksanaan Skim Keilatan serta pelaksanaan kajian bagi menilai kebolehlaksanaan Skim Pengembara untuk pekerja rentas sempadan, khususnya melibatkan kira-kira 400,000 rakyat Malaysia yang berulang alik di Singapura.
2017 - Akta 800
Kerajaan baru-baru ni telah memperuntukkan tambahan RM100 juta yang disalurkan kepada Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) bagi pembiayaan latihan kemahiran dan pengukuhan jaringan pelindungan sosial pekerja gig. Sekian, terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Datoʼ Dr. Ramli bin Datoʼ Mohd Nor
Silakan Yang Berhormat Pekan, soalan tambahan.
Datoʼ Sri Sh Mohmed Puzi bin Sh Ali - Pekan
Terima kasih kepada Timbalan Menteri yang telah menjelaskan secara terperinci. Pekan ingin bertanya, bagaimanakah kementerian menilai impak jangka panjang skim perlindungan sosial ini terhadap keselamatan ekonomi pekerja generasi muda dan berpendapatan rendah yang kita lihat semakin tertumpu dalam sektor pekerjaan yang fleksibel.
Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Datoʼ Dr. Ramli bin Datoʼ Mohd Nor
Silakan Menteri.
Tuan Khairul Firdaus bin Akbar Khan
Terima kasih Yang Berhormat Pekan ataupun sebab utama kenapa akta ini diperkenalkan adalah untuk memastikan perlindungan dapat dilaksanakan kepada pekerja gig, itu dengan jelas kenapa akta ini telah diwujudkan. Melalui sumber manusia, kita nampak perubahan landskap buruh negara memang dengan secara jelas mempunyai kesan daripada perkembangan digitalisasi itu sendiri. Perubahan ini menyebabkan secara langsung ramai anak-anak muda kita memilih untuk melibatkan diri dalam sektor gig.
Kerajaan telah memperkenalkan Akta Gig 2025 [Akta 872] sebagai salah satu usaha dalam menilai impak jangka masa pendek, sederhana dan juga panjang.
Terutamanya dalam sudut pelindungan sosial, baik atas platform ataupun bukan platform. Akta, liputan pekerjaan di bawah Jadual Akta 872 adalah seperti berikut.
Setakat ini, ada sembilan bidang telah dimasukkan di dalam pelindungan untuk akta ini.
(i) lakonan;
(ii) aktiviti perfileman;
(iii) aktiviti yang berkaitan dengan muzik;
(iv) estetik;
(v) terjemahan;
(vi) kewartawanan;
(vii) pra-natal, pasca natal dan penjagaan kehamilan;
(viii) penjagaan paliatif, pemulihan dan orang tua; dan
(ix) fotografi dan videografi.
Selain itu juga, pekerja GIG adalah wajib dan juga diwajibkan berdaftar dalam— dan mencarum di bawah Skim Lindung Kendiri (PERKESO). Skim ini menyediakan manfaat seperti faedah perubatan, faedah hilang upaya sementara, faedah hilang upaya kekal, elaun layanan sentiasa, kemudahan pemulihan jasmani vokasional, faedah orang tanggungan, faedah pengurusan mayat dan juga faedah pinjaman pendidikan.
Untuk makluman Ahli-ahli Dewan Rakyat, setakat 31 Disember 2025, bilangan orang bekerja sendiri yang berdaftar dan mencarum secara aktif di bawah lindung kendiri adalah seramai 869,913 orang. Daripada jumlah tersebut, seramai 299,674 orang yang terlibat dalam sektor gig termasuk pekerja e-haling.
Kementerian perlu juga tahu dan sedar untuk kita meningkatkan kesedaran ini, untuk kita mencapai objektif RUU ini ataupun akta ini, kita perlu menyediakan platform untuk upskilling dan juga reskilling. Sekian, terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Datoʼ Dr. Ramli bin Datoʼ Mohd Nor
Terima kasih Yang Berhormat Menteri. Silakan Yang Berhormat Bagan Serai.
Datuk Haji Idris bin Haji Ahmad - Bagan Serai
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam sejahtera. Terima kasih kepada Dato’ Pengerusi. Terima kasih Yang Di-Pertua. Terima kasih kepada Menteri. Walaupun kita tengok di bawah skim agensi yang sama iaitu PERKESO, tetapi tahap perlindungan sosial ini, dia tak seragam mengikut kategori pekerjaan.
Contohnya, pekerjaan tetap menikmati banyak perlindungan mandatori yang mereka dapat berbanding dengan pekerjaan gig ataupun pekerjaan kontrak ataupun pekerjaan separuh masa. Itu pun dia bergantung kepada skim secara sukarela dengan perlindungan yang terhad.
Persoalan saya ialah apakah perancangan jangka panjang yang perlu dibuat oleh pihak kementerian untuk menyelaraskan tahap perlindungan sosial sama ada mereka yang bekerja tetap ataupun bekerja sendiri kerana nikmat perlindungan ini tidak sama yang didapati di kalangan pekerja-pekerja tetap dengan pekerja-pekerja gig ataupun pekerja-pekerja separuh masa ataupun pekerja kontrak.
Maka harapan saya ialah supaya perlunya ada satu perancangan yang menyeluruh supaya pekerja-pekerja gig ataupun kontrak ini sama faedah manfaatnya dapat, didapati seperti didapati oleh pekerja-pekerja tetap. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Silakan Yang Berhormat Menteri.
Tuan Khairul Firdaus bin Akbar Khan
Terima kasih Yang Berhormat Bagan Serai. Seperti yang saya telah jelaskan sebentar tadi, roh undang-undang ini diperkenalkan adalah untuk memastikan pertama, perlindungan kepada pekerja gig itu dapat kita lakukan. Kita tahu banyak perbezaan di antara pekerja gig dengan juga bukan pekerja gig.
Itu sebabnya KESUMA melalui PERKESO telah menyediakan pelindungan insurans di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 [Akta 789] iaitu Skim Lindung Kendiri yang saya telah jelaskan sementara tadi. Skim ini memberikan pelindungan kepada pekerja gig daripada bencana pekerjaan sendiri termasuk penyakit pekerjaan dan kemalangan perjalanan sewaktu menjalankan aktiviti pekerjaan sendiri.
Selain itu juga, skim ini menawarkan dan menyediakan manfaat seperti faedah perubatan, faedah hilang upaya sementara, faedah hilang upaya kekal, elaun layanan, kemudahan pemulihan jasmani dan vokasional. Geran Padanan Caruman yang disediakan oleh kerajaan di bawah Belanjawan 2025 adalah salah satu usaha untuk menggalakkan orang bekerja sendiri termasuk pekerja gig berdaftar dan mencarum di bawah Skim Lindung Kendiri, sekali gus menjamin pelindungan sosial mereka.
Ini perlu dilakukan oleh pekerja gig supaya mereka mendapat pelindungan semaksima yang mungkin. Inisiatif ini di bawah Geran Padanan Caruman adalah pertama, SPS Padanan Caruman 3.0 ialah pembiayaan Padanan Caruman, di mana orang bekerja sendiri hanya perlu membayar sebanyak 30 peratus ataupun RM70 sahaja daripada kadar caruman RM232.80 di bawah Pelan Caruman 2. Selain itu juga, orang bekerja sendiri layak diberi perlindungan selama 12 bulan atau pun setahun selepas bayaran tersebut diterima. Baki bayaran 70 peratus pula RM162.80 akan dibiayai oleh kerajaan.
Apa maksudnya? Maksudnya kerajaan sedar betapa pentingnya untuk kita memberikan perlindungan tidak kisah apa sudut, segi sektor pun, apa sudut segi pekerjaan pun, apa sudut segi masyarakat pun, pembiayaan dan juga perkasaan kepada pekerja gig perlu kita terapkan dan perlu kita lakukan. Selain itu, Yang Berhormat Bagan Serai, saya akan memberikan jawapan secara bertulis untuk memastikan jawapan itu dapat memenuhi cita rasa kita semua. Sekian, terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Datoʼ Dr. Ramli bin Datoʼ Mohd Nor
Terima kasih Yang Berhormat Menteri. Berikut, saya jangkakan soalan yang terakhir ya kerana kita akan tamat pada jam 11.30. Dengan itu, saya mempersilakan soalan yang ke-4, Tuan Haji Mohd Syahir bin Che Sulaiman, Yang Berhormat Bachok.
Tuan Haji Mohd Syahir bin Che Sulaiman - Bachok
Terima kasih Datoʼ Speaker pantun dua kerat.
Tahniah Menteri dan Timbalan naik pangkat; Soalan saya nombor empat.
4. Tuan Haji Mohd Syahir bin Che Sulaiman [Bachok] minta Menteri Ekonomi menyatakan, sama ada kerajaan sedia menilai semula kebergantungan kepada pertumbuhan KDNK sebagai ukuran utama kejayaan dasar ekonomi dan apakah indikator kesejahteraan alternatif yang digunakan bagi memastikan pertumbuhan diterjemahkan kepada peningkatan taraf hidup rakyat.
Timbalan Yang di-Pertua - Datoʼ Dr. Ramli bin Datoʼ Mohd Nor
Berikut dipersilakan Menteri Ekonomi untuk menjawab.
Timbalan Menteri Ekonomi - Dato’ Indera Mohd Shahar bin Abdullah
Terima kasih Datoʼ Yang di-Pertua. Terima kasih Yang Berhormat Bachok.
Untuk makluman Yang Berhormat, kerajaan bukan hanya bergantung kepada KDNK bagi mengukur kejayaan perancangan sosial ekonomi dan penilaian pembangunan negara...
Timbalan Yang di-Pertua - Datoʼ Dr. Ramli bin Datoʼ Mohd Nor
Sebentar Yang Berhormat Menteri. Pembetulan ya.
Kerangka soalan lisan ini telah di-extend-kan selama satu setengah jam— makna saya jangka akan tamat pada jam kurang 12 lebih. Jadi, bermakna soalan 5, 6, 7 itu akan ada ya. Baik, Yang Berhormat Menteri, silakan.
Timbalan Menteri Ekonomi - Dato’ Indera Mohd Shahar bin Abdullah
Terima kasih Dato' Yang di-Pertua. Untuk makluman Yang Berhormat, kerajaan bukan hanya bergantung kepada KDNK bagi mengukur kejayaan perancangan sosioekonomi dan penilaian kemajuan pembangunan negara.
Selain ukuran KDNK, kerajaan telah membangunkan satu indeks komposit iaitu Indeks Kualiti Hidup Malaysia yang terdiri daripada dua subkomposit iaitu ekonomi dan sosial. Indeks yang dikeluarkan setiap tahun ini sentiasa ditambah baik berdasarkan keperluan semasa.
Pada tahun 2013, indeks ini telah dijenamakan sebagai Indeks Kesejahteraan Rakyat Malaysia atau MyWI. Penilaian kerangka MyWI bagi tahun 2024 telah diperkukuhkan dengan pertambahan satu lagi subkomposit iaitu alam sekitar bagi melengkapkan subkomposit ekonomi dan sosial dalam MyWI sedia ada.
Penambahan subkomposit ini sejajar dengan agenda pembangunan mampan yang menekankan mengenai kesalinghubungan antara tiga dimensi ini.
Datuk Yang di-Pertua, subkomposit ekonomi mengambil kira aspek pendapatan dan pengagihan ekonomi, akses kepada pengangkutan dan komunikasi serta persekitaran kerja rakyat. Terdapat 19 indikator khusus di bawah subkomposit ini, antaranya PNK per kapita, Pekali Gini, pengagihan pendapatan, capaian Internet, penggunaan telefon bimbit, tindakan perusahaan dan tempoh waktu bekerja melebihi 45 jam seminggu.
Manakala, subkomposit pula menilai mengenai penyertaan sosial dan keutuhan institusi keluarga. Bagi tujuan penyelidikan ini, sebanyak 59 indikator seperti penglibatan dalam NGO dan persatuan penduduk, peningkatan hutang isi rumah per kapita dan kadar perceraian dijadikan sebagai penanda aras.
Manakala, subkomposit terbaru alam sekitar pula menilai kelestarian alam sekitar. Tinjauan dilakukan terhadap kedudukan semasa sumber air dan udara menerusi enam indikator seperti kualiti udara dan kualiti air sungai.
Dato’ Yang di-Pertua, Laporan MyWI 2024 yang baharu diterbitkan pada penghujung tahun 2025 meningkat sebanyak 20.6 mata indeks berbanding tahun asas 2000 yang menunjukkan kesejahteraan rakyat Malaysia telah bertambah baik.
Penambahbaikan ini disumbangkan oleh peningkatan subkomposit ekonomi sebanyak 28.8 mata, sosial 21.8 mata, alam sekitar 5.9 mata.
Dapatan ini menunjukkan bahawa kemajuan yang dicapai dalam tempoh 24 tahun yang lalu lebih tertumpu kepada aspek dan ekonomi sosial. Kesalinghubungan antara ketiga-tiga dimensi ini merupakan antara aspek utama yang dipertimbangkan oleh kerajaan dalam menetapkan dasar pembangunan sosial ekonomi dalam RMK lima tahun. Ini bagi memastikan pembangunan yang dirancang dan dapat dilaksanakan dan diterjemahkan kepada penarafan taraf hidup dan kesejahteraan rakyat.
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, mulai tahun 2023, DOSM telah turut menerbitkan MyWI pada peringkat negeri. Memandangkan MyWI merupakan indikator yang lebih menyeluruh dan tidak bergantung sepenuhnya kepada KDNK mata-mata, kerajaan berharap kerajaan negeri juga turut dapat menggunakan MyWI dalam perancangan sosial ekonomi negeri masing-masing. Terima kasih, Dato' Yang di-Pertua.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Silakan, Yang Berhormat Bachok.
Tuan Haji Mohd Syahir bin Che Sulaiman - Bachok
Terima kasih Dato' Speaker, terima kasih sahabat saya Timbalan Menteri. Saya sambut baik usaha kerajaan untuk menambah baik pengukuran sosioekonomi rakyat, indeks terbaru tadi.
Dan soalan tambahan saya, bagaimanakah kerajaan menilai atau mengukur kualiti? Kualiti pertumbuhan ekonomi semasa memandangkan sebahagian besar isi rumah masih berhadapan dengan tekanan kos sara hidup, upah yang rendah, hutang yang tinggi dan simpanan yang terhad.
Walaupun indikator makro ekonomi menunjukkan ekonomi berada dalam keadaan yang baik dan bagaimana kerajaan menyelaras dasar fiskal dan juga dasar monetari di pihak kerajaan dan juga pihak Bank Negara dalam aspek indikator- indikator kesejahteraan hidup yang disebut oleh Menteri sebentar tadi. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Silakan Yang Berhormat Menteri.
Dato’ Indera Mohd Shahar bin Abdullah
Terima kasih Yang Berhormat Bachok dan terima kasih Dato' Yang di-Pertua. Saya jawab yang ketiga dahulu, bagaimana kita menyelaras antara dasar fiskal dan monetari dan bagaimana pendekatan yang kita lakukan?
Untuk makluman Yang Berhormat, kita ada tiga agensi yang penting, Kementerian Ekonomi, ICU dan Kementerian Kewangan di mana ketiga-tiga kementerian ini mempunyai aplikasi dan dashboard masing-masing.
Di peringkat Kementerian Kewangan, dia ada MyBelanjawan yang diumumkan suku tahun, setengah tahun dan full year. MyProjek di bawah ICU dan di bawah kementerian ekonomi, kita ada MyRMK di mana kita melihat polisi program dan projek bagi kita menyelaras semua agensi akan terdapat di sana.
Kita ada meeting, meeting yang tertentu. Yang di peringkat TWG, Inter- Agency Planning Groups, Jawatankuasa Perancangan Pembangunan Negara, Majlis Tindakan Ekonomi Negara dan Jemaah Menteri. Dalam mesyuarat-mesyuarat tersebut, pelbagai agensi beralih di sana dan kita akan penyelaras perkara tersebut.
Berkaitan kualiti Dato' Yang di-Pertua, ini perkara yang penting yang perlu saya perjelaskan. Selalu soalan ini dibangkitkan dalam Dewan untuk melihat bagaimana kerajaan mengukur dan menilai? Selain daripada dashboard yang kita ada, kita menggunakan kaedah indeks komposit dan survey yang kita buat dua kali setiap lima tahun yang sepertimana saya sebut di soalan pertama awal tadi.
Wangsa Maju adalah berkaitan HIES, Household Income and Expenditure Survey yang kita buat tahun 2024 dan 2022 untuk RMK12. Kita lihat ada peningkatan yang cukup baik, Dato' Yang di-Pertua dari segi pendapatan purata isi rumah meningkat daripada RM8,479 kepada RM9,155 dan peningkatan pendapatan menengah isi rumah RM6,338 kepada RM7,017.
Ini antara indikator yang kita lihat selain kita melihat indikator kemiskinan yang dahulunya pada tahun 1970, 49.3 peratus kemiskinan mutlak. Dan kini, selepas HIES 2024, kita melihat turun sehingga 5.1 peratus kemiskinan tegar daripada 1980- an 6.9 ke 0.09 peratus.
Tapi Yang Berhormat, kita akui metodologi ini berubah mengikut masa.
Sepertimana Yang Berhormat pun sedia maklum, metodologi ini berubah. Dahulunya kita berasaskan kepada konsep minimum kepada optimum minimum. Dahulu kita berasaskan kepada kalori kepada harga kepada sajian kepada harga.
Jadi, perubahan-perubahan ini juga akan mengubah bagaimana kita threshold pendapatan dalam pengelasan B40, M40 dan T20. Dulu, kalau kita lihat isi rumah pada tahun 2022 Tuan Dato' Yang di-Pertua, 7.9 juta tetapi sekarang 2024, 8.2 juta.
Dulu, kalau kita lihat B40 kita letakkan pada threshold pendapatan RM5,250 tetapi untuk 2024, RM5,860. Bermakna perubahan ini kita metodologi dan konsep ini berubah mengikut keperluan semasa dan kerajaan sentiasa melakukan intervensi Dasar Gaji Progresif, dasar gaji minimum, TVET dan kita juga buat penyelarasan gaji penjawat awam.
Ini semua Yang Berhormat akan memberi sepertimana Yang Berhormat sebutkan tadi kualiti kepada isi rumah rakyat Malaysia. Terima kasih Dato' Yang di- Pertua.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Silakan Yang Berhormat Pasir Gudang.
Tuan Hassan bin Abdul Karim - Pasir Gudang
Terima kasih Dato' Speaker. Yang Berhormat Timbalan Menteri, bolehkah nyatakan kesimpulan- kesimpulan Laporan Ekonomi Malaysia tahun 2025 dari dua institusi yang melaporkan ekonomi Malaysia iaitu Laporan IMF, International Monetary Fund dan Laporan Bank Negara Malaysia, IMF Badan Global Antarabangsa, Bank Negara Malaysia, bank kita dalam negeri.
Tentang masa depan ekonomi Malaysia. Pertama, Apakah kesimpulan yang sama antara IMF dan Bank Negara Malaysia ini tentang ekonomi kita akan datang?
Yang kedua, adakah dalam laporan mereka itu ada kesimpulan yang berbeza antara laporan IMF dan Bank Negara? Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Silakan Yang Berhormat Menteri.
Dato’ Indera Mohd Shahar bin Abdullah
Dato' Yang di-Pertua. Saya kira soalan Pasir Gudang ini penting untuk saya jawab di Dewan yang mulia ini walaupun ia berkait dengan Kementerian Kewangan tetapi ia juga terlibat secara langsung dengan Kementerian Ekonomi.
Dua laporan yang disebutkan Bank Negara Malaysia dan IMF. Yang pertama, Ahli Yang Berhormat Pasir Gudang sudah pasti metodologi yang digunakan dalam pelaporan dan analisis dibuat juga berbeza. Walaupun saya tak katakanlah 100 peratus berbeza, tetapi dia juga mengambil kira pandangan di peringkat antarabangsa, IMF dan pandangan kita sebagai agensi dalam negara kita, kita akan melihat data-data yang lebih spesifik. Sudah pasti kesimpulan di hujung laporan tersebut akan berbeza.
Mana mungkin kita boleh serahkan maklumat kita ini sepenuhnya kepada pihak antarabangsa.
Dato’ Indera Mohd Shahar bin Abdullah
[Timbalan Yang di-Pertua (Puan Alice Lau Kiong Yieng) **mempengerusikan Mesyuarat****] Sudah pasti kita akan memberi penekanan berat kepada laporan-laporan yang dibuat oleh Bank Negara Malaysia kerana metodologi dan indikatornya, prosesnya menggunakan data tempatan, kepakaran tempatan dan sudah pasti ekosistem yang ada di negara kita ini agensi negara kita lebih memasti.
Walau bagaimanapun Ahli Yang Berhormat Pasir Gudang, segala laporan yang ada di peringkat antarabangsa atau tempatan, kita murnikan, kita lihat keseluruhan dan kita akan melihat pandangan-pandangan tersebut sebagai pandangan yang membina terhadap ekonomi negara.
Saya bagi jaminan kepada Yang Berhormat, walaupun prestasi global agak stabil, tetapi growth-nya mungkin hadapi sedikit mencabar di atas dasar-dasar antarabangsa tetapi Malaysia mempunyai keupayaan dari segi struktur ekonominya untuk memastikan sasaran yang kita jangka pada tahun ini akan dapat dicapai sepertimana yang kita telah lakukan pada tahun 2025. Terima kasih Dato' Puan Yang di-Pertua.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Saya jemput Dato’ Haji Adnan bin Abu Hassan, Kuala Pilah.
Dato' Haji Adnan bin Abu Hassan - Kuala Pilah
Terima kasih Yang Berhormat Timbalan Speaker, soalan Kuala Pilah di nombor 5.
5. Dato' Haji Adnan bin Abu Hassan [Kuala Pilah] minta Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi menyatakan sama ada kementerian bercadang untuk memperkenalkan platform satu pintu atau pangkalan data bersepadu bagi menyelaras maklumat penerima bantuan dan program keusahawanan di semua agensi bagi mengelakkan pertindihan serta meningkatkan kecekapan dan keberkesanan penyampaian bantuan.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Saya jemput Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi untuk menjawab.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi - Datuk Mohamad bin Alamin
Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Selamat pagi dan salam sejahtera, salam Malaysia MADANI. Terima kasih Puan Yang di-Pertua dan terima kasih kepada sahabat saya Yang Berhormat Kuala Pilah yang mengemukakan soalan pada pagi ini.
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) komited dalam memastikan penyelarasan maklumat penerima bantuan dan program keusahawanan di semua agensi bagi mengelakkan pertindihan serta meningkatkan kecekapan dan penyampaian bantuan yang berkesan.
Mengenai cadangan Ahli Yang Berhormat untuk membangunkan satu platform secara bersepadu bagi menyelaras maklumat program keusahawanan yang melibatkan semua kementerian dan agensi KUSKOP melalui agensinya SME Corp telah melaksanakan Pelan Tindakan Bersepadu PMKS atau SME Integrated Plan of Action (SMEIPA) disebut juga sebagai SMEIPA sejak tahun 2006 lagi.
Ia meliputi pelaporan program keusahawanan dan pembangunan yang ditawarkan oleh pelbagai kementerian dan agensi sebagai rujukan utama kerajaan bagi memastikan penyelarasan intervensi dilaksanakan secara bersepadu. Lima bidang tumpuan utama di bawah SMEIPA adalah seperti berikut:
(i) akses kepada pembiayaan;
(ii) pembangunan modal insan;
(iii) penerapan teknologi dan inovasi;
(iv) akses kepada pasaran; dan
(v) infrastruktur.
Berdasarkan kepada laporan SMEIPA tahun 2025, sebanyak 349 program pembangunan keusahawanan dan PMKS telah dilaksanakan menerusi penglibatan 15 kementerian, 56 agensi dan 13 kerajaan negeri. Inisiatif ini melibatkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM30.34 bilion dan memberi manfaat kepada 613,511 PMKS.
Di samping itu, bagi mengelakkan pertindihan program dan memastikan keberkesanan perbelanjaan dana kerajaan, pencapaian pelaksanaan program di bawah SMEIPA ini terus dibentangkan dalam Mesyuarat Majlis Pembangunan Usahawan dan PMKS Kebangsaan (MPUPK) yang dipengerusikan oleh Yang Amat Berhormat Timbalan Perdana Menteri I.
Pemantauan pelaksanaan inisiatif ini telah diperkukuhkan melalui penubuhan Sekretariat MPUPK yang turut dipengerusikan oleh Yang Amat Berhormat Timbalan Perdana Menteri. Dalam konteks KUSKOP, kementerian ini telah membangunkan sistem pemantauan program keusahawanan atau disebut juga sebagai Entrepreneur Program Monitoring System (EPMS) yang berfungsi sebagai sistem pelaporan berpusat untuk memantau prestasi program keusahawanan secara masa nyata (real time) melibatkan pelaksanaan program dan inisiatif keusahawanan di peringkat kementerian dan agensi-agensi KUSKOP.
Selain itu, KUSKOP juga akan melaksanakan kajian kebolehlaksanaan pembangunan Repositori Usahawan Nasional pada tahun 2026. Kajian ini bertujuan untuk meneliti integrasi sistem pangkalan data sedia ada di semua agensi di bawah KUSKOP bagi membentuk satu hab data pusat yang komprehensif. Sekian dan terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Kuala Pilah.
Dato' Haji Adnan bin Abu Hassan - Kuala Pilah
Terima kasih Yang Berhormat Timbalan Menteri. Soalan tambahan saya lebih ringkas saja. Sejauh manakah keberkesanan sistem EPMS ini, iaitu Entrepreneur Program Monitoring System dalam membangunkan usahawan di peringkat KUSKOP? Terima kasih.
Datuk Mohamad bin Alamin
Terima kasih kepada sahabat saya Yang Berhormat Kuala Pilah atas soalan tambahan. EPMS, Entrepreneur Program Monitoring System. Ini dibangunkan secara dalaman di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) ini.
Puan Yang di-Pertua, sistem ini diwujudkan sebagai platform digital berpusat yang bertindak bagi memantau program-program dan inisiatif yang telah dirancang oleh bahagian dan juga agensi-agensi di bawah KUSKOP. EPMS juga dapat memantau setiap sen peruntukan dana kerajaan disalurkan kepada setiap agensi supaya ia nya digunakan secara lebih baik dan juga mencapai sasaran.
Kita juga dapat tahu dengan menggunakan sistem ini Puan Yang di-Pertua untuk kita memastikan apa? Jumlah penerima manfaat kita akan dapat tahu. Contoh banyak agensi-agensi di bawah KUSKOP ini. Amanah Ikhtiar Malaysia, TEKUN, Bank Rakyat, SME Bank dan kita dapat tahu berapa banyak penerima manfaat daripada dana kerajaan melalui apa juga program yang diperkenalkan oleh bahagian dan juga agensi masing-masing. Kita juga dapat tahu dengan adanya sistem dalaman KUSKOP yang disebut sebagai EPMS ini, kita akan dapat tahu pencapaian, outcome setiap bentuk program yang dilaksanakan.
Akhirnya, Puan Yang di-Pertua, kita akan dapat tahu juga jurang capaian bantuan itu. Kita tak mahu setiap bantuan yang disalurkan itu nanti ia nya tidak akan mencapai sasaran. Kita mahu ia nya dapat benar-benar impak yang maksimal dan secara terus dalam peningkatan pendapatan usahawan dan insya-Allah kita percaya dengan adanya sistem EPMS ini ia nya merupakan medium yang terbaik dalam memastikan setiap program dan juga inisiatif yang dilaksanakan di bawah KUSKOP akan mencapai KPI yang terbaik dan outcome yang terbaik dan sekali gus dapat memahami pertumbuhan ekonomi usahawan dan juga koperasi di negara kita.
Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Kuala Langat.
Dato’ Dr. Ahmad Yunus bin Hairi - Kuala Langat
Terima kasih Yang di- Pertua. EPMS saya lihat tidak menunjukkan suatu angka rasmi berapa ramai usahawan yang menerima lebih daripada satu pembiayaan ataupun pinjaman daripada satu agensi pada sesuatu tahun.
Sebenarnya ada tak statistik yang menunjukkan bilangan penerima ataupun multi-assist semua agensi di bawah KUSKOP termasuklah SME Corp, TEKUN Nasional, PUNB, Bank Rakyat dan INSKEN. Memandangkan kerajaan telah membangunkan sistem padu yang mengintegrasikan data 204 agensi, adakah KUSKOP telah menemukan satu pelan yang jelas untuk menghubungkan pangkalan data usahawan di bawah KUSKOP dengan PADU dan jika belum, adakah halangan daripada sudut teknikal ataupun perundangan dan takbir urus data yang menjadi penghalang. Terima kasih.
Datuk Mohamad bin Alamin
Terima kasih Yang Berhormat atas soalan tambahan. Pertamanya kita tak ada mengamalkan dasar untuk menghalang mana- mana usahawan untuk mendapatkan pembiayaan daripada mana-mana agensi, lebih daripada satu, dia boleh memohon untuk mendapatkan dana-dana tambahan daripada mana-mana agensi di bawah KUSKOP umpamanya.
EPMS ini diperkenalkan untuk makluman Yang Berhormat untuk yang saya katakan tadi bagi mengetahui yang pertama jumlah penerima manfaat itu. Kalau saya boleh buat kenyataan sebagai contoh di sini. Contohnya melalui Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM). Berapa yang telah menerima manfaat Yang Berhormat?
Pada tahun 2025, seramai 298,235 orang. Jumlah dana yang diturunkan diberikan ialah sebanyak RM2,812,394,30. Maknanya kita tahu semua data-datanya.
Cuma kita sedang membangunkan satu lagi sistem untuk memantau lebih dekat lagi, lebih sistematik lagi. Bukan hanya kita memantau bentuk-bentuk program yang saya nyatakan tadi, tetapi kita juga ingin memantau setiap prestasi setiap usahawan itu.
Dia dapat pinjaman tapi kita tidak ada sistem untuk memantau sejauh mana prestasi setiap usahawan. Jadi, ini kita sedang bangunkan untuk membuat pemantauan secara rapat di setiap agensi-agensi di bawah KUSKOP juga boleh memantau.
Datuk Mohamad bin Alamin
Tapi, saya nak nyatakan di sini bahawa komitmen KUSKOP dan kita dirikan ePMS ini adalah untuk kita memastikan program-program itu akan mencapai sasaran kepada penerima-penerima manfaat yang kita berikan.
Tahun lepas saja, Puan Yang di-Pertua, RM7,751,791,031. Ini dana kerajaan yang telah diturunkan kepada agensi-agensi di bawah KUSKOP ― AIM, Bank Rakyat, IKMa, INSKEN, PERNAS, SKM, SME Bank, SME Corp, TEKUN, UDA. Yang terbesar sekali yang memberikan dana ini siapa? Bank Rakyat sebanyak RM3 bilion lebih. Keduanya AIM, RM2 bilion lebih. Yang ketiganya, TEKUN, RM1 bilion lebih.
Jadi, maknanya, banyak. Jadi, ePMS dibangun untuk memantau semua program- program.
Kita mengharapkan semua dana kerajaan yang diturunkan ini akan mencapai sasaran kepada semua para usahawan. Insya-Allah, satu sistem kita akan membangunkan lepas ini dan masih dalam kajian untuk memantau setiap prestasi setiap usahawan di negara kita, PMKS kita di Malaysia dan juga koperasi. Insya- Allah. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Saya jemput Tuan Haji Onn bin Abu Bakar, Batu Pahat.
Tuan Haji Onn bin Abu Bakar - Batu Pahat
Terima kasih, Datoʼ Speaker.
Kempen 100 juta pokok ditanam; Soalan saya nombor enam.
6. Tuan Haji Onn bin Abu Bakar [Batu Pahat] minta Menteri Belia dan Sukan menyatakan jumlah persatuan atau kelab sukan yang tidak aktif dan bermasalah bagi tempoh 2020 hingga 2025, termasuk kategori isu yang dihadapi seperti kegagalan tadbir urus, kewangan atau keahlian serta apakah tindakan dan mekanisme pemulihan yang diambil oleh kementerian untuk membantu.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Saya menjemput Timbalan Menteri Belia dan Sukan untuk menjawab.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan - Tuan Mordi anak Bimol
Terima kasih, YB Batu Pahat. Tuan Yang di-Pertua, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melalui Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PJS) sentiasa berusaha menggalakkan tadbir urus badan sukan dilaksanakan secara berintegriti dengan memantau pendaftaran, tahap pematuhan dan keaktifan persatuan serta kelab sukan selaras dengan peruntukan di bawah Akta Pembangunan Sukan 1997 [Akta 576]. Di bawah seksyen
15 Akta Pembangunan Sukan 1997 - Akta 576
, setiap badan sukan hendaklah memohon pendaftaran dengan Pesuruhjaya Sukan bagi menjalankan apa-apa aktiviti sukan.
Berdasarkan rekod dan statistik PJS bagi tempoh 2020 hingga 2025, sebanyak 4,687 persatuan dan kelab sukan telah direkodkan sebagai tidak aktif atau bermasalah melibatkan 23 badan sukan peringkat kebangsaan, 206 peringkat negeri, 486 peringkat daerah dan 3,972 peringkat kelab. Antara isu badan sukan yang berbangkit adalah berkaitan dengan tadbir urus badan sukan yang melibatkan pelanggaran perlembagaan badan sukan dan pelanggaran Akta Pembangunan
Sukan 1997 - Akta 576
.
Bagi memperkasa badan sukan, program pengukuhan tadbir urus badan sukan merupakan mekanisme yang telah dilaksanakan dengan memberi tumpuan kepada bimbingan dan latihan bagi meningkatkan kecekapan pengurusan. Antara inisiatif yang dilaksanakan termasuklah Kursus Pengurusan Organisasi Badan Sukan, Program Pengukuhan Advokasi Governans dan Integriti, hari bertemu pelanggan dan sesi dialog awam bersama badan sukan.
Selain itu, Jawatankuasa Pertikaian Sukan turut berfungsi sebagai mekanisme untuk memberi nasihat dan membantu menyelesaikan pertikaian dalam badan sukan selaras dengan seksyen 24 Akta Pembangunan Sukan 1997 [Akta 576] sekiranya badan sukan berkenaan tidak dapat menyelesaikan pertikaian secara dalaman.
KBS akan terus memperkukuh pemantauan dan pendekatan sokongan bagi membantu badan sukan meningkatkan tahap tadbir urus, menggalakkan semula keaktifan persatuan serta memastikan pembangunan sukan negara dilaksanakan secara teratur, berintegriti dan mampan. Sekian, terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Batu Pahat.
Tuan Haji Onn bin Abu Bakar - Batu Pahat
Soalan tambahan saya kepada Menteri. Berbanding dengan persatuan sukan, bagaimana dengan persatuan- persatuan belia kini kelihatan semakin hilang taringnya dan seolah-olah gagal menarik minat generasi Gen Z ini? Apakah langkah-langkah yang akan diambil oleh pihak kementerian untuk mendayaupayakan semula persatuan belia ini agar ia nya kembali menjadi wadah perjuangan anak muda, terutamanya sikap patriotik kepada negara?
Tuan Mordi anak Bimol
Terima kasih Yang Berhormat Batu Pahat atas keprihatinan Yang Berhormat. Tuan Yang di-Pertua, Kementerian Belia dan Sukan sentiasa memberi perhatian serius terhadap pengukuhan peranan pertubuhan belia agar kekal relevan sebagai platform pembangunan kepimpinan, penyertaan dan perjuangan anak muda, khususnya dalam mendepani perubahan landskap sosial dan demografi belia masa kini.
Tuan Nurul Amin bin Hamid - Padang Terap
[Bangun]
Tuan Mordi anak Bimol
Sebagai langkah strategik, pelaksanaan had umur belia berpersatuan antara 15 hingga sebelum mencapai 30 tahun melalui Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia (Pindaan) 2019 [Akta A1602] yang berkuat kuasa pada 1 Januari 2026 merupakan reformasi struktur penting bagi memastikan proses regenerasi kepimpinan belia yang lebih tersusun, dinamik dan selari dengan aspirasi generasi muda. Berdasarkan rekod Pejabat Pendaftar Pertubuhan Belia (ROY) setakat 31 Januari 2026, sebanyak 8,087 pertubuhan belia adalah berdaftar yang mana keahlian di bawah umur 30 tahun pula adalah seramai 545,587 orang.
KBS turut melaksanakan pendekatan sokongan berfokus menerusi penganjuran program dan aktiviti termasuk berbentuk advokasi seperti Kembara Jumpa Orang Muda, Program Outreach Pertubuhan Belia, Kolaborasi Pintar Belia, Kursus Pengurusan Berkesan Pertubuhan Belia dan sebagainya, yang mana turut melibatkan Majlis Belia Malaysia (MBM) dan gabungannya.
Selain itu, KBS juga mempertimbangkan sebanyak RM2.5 juta yang memberikan manfaat kepada 431 pertubuhan belia bagi pelaksanaan program dan aktiviti di bawah Dana Bantuan Pembangunan Belia dan Rakan Muda bagi tahun 2025. Inisiatif ini akan diteruskan bagi tahun 2026.
KBS juga komited untuk terus memperkukuhkan ekosistem pertubuhan belia melalui pendekatan yang seimbang antara pembaharuan kepimpinan, sokongan pembangunan kapasiti dan penglibatan belia akar umbi agar persatuan belia kekal relevan, inklusif dan berperanan efektif sebagai wadah pembangunan dan kepimpinan anak muda dalam pembangunan negara. Sekian, terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Labuan.
Datoʼ Indera Dr. Suhaili bin Abdul Rahman - Labuan
Terima kasih. Puan Yang di-Pertua, soalan tambahan. Saya minta Menteri Belia dan Sukan menjelaskan sekiranya isu belia NEET, not in education, employment or training― tidak ditangani secara sistematik, perkara ini boleh membawa kepada masalah jangka panjang seperti pengangguran berterusan, kemiskinan, masalah sosial serta pembaziran modal insan negara.
Soalan saya, apakah peranan KBS dan persatuan belia dalam menangani isu belia NEET di Malaysia? Sekian, Puan Yang di-Pertua.
Tuan Mordi anak Bimol
Terima kasih, Yang Berhormat Labuan. Tuan Yang di-Pertua, isu belia NEET, not in education, employment or training terutamanya dalam kalangan yang berumur antara 15 hingga 24 tahun merupakan cabaran kritikal dalam pembangunan modal insan negara.
Berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia, peratusan belia NEET berumur 15 hingga 24 tahun direkodkan 8.7 peratus pada tahun 2024. Manakala peratusan keciciran pelajar sekolah menengah pula direkodkan 2.55 peratus pada tahun 2024. Data ini menunjukkan kewujudan kumpulan belia yang berisiko tercicir secara berterusan daripada sistem pendidikan, latihan dan pasaran pekerjaan sekiranya tiada intervensi awal dan bersepadu dilaksanakan.
Jadi, antara langkah intervensi yang telah diambil KBS adalah menerusi pelbagai langkah sebagaimana yang digariskan di bawah Pelan Pemerkasaan Sosioekonomi Belia Malaysia 2030 dengan memberi penekanan kepada usaha merapatkan jurang pendidikan dan ekonomi, khususnya melibatkan belia minoriti, belia terpinggir serta belia berisiko melalui laluan pembangunan yang lebih inklusif dan fleksibel.
Selain itu, KBS menerusi Institusi Latihan Kemahiran Belia dan Sukan
(ILKBS) turut menawarkan latihan kemahiran secara sepenuh masa dan jangka pendek melalui 21 ILKBS di seluruh negara merangkumi 14 kemahiran yang relevan dengan keperluan industri semasa termasuklah bagi belia yang tidak mempunyai Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi kursus tertentu.
Berdasarkan rekod, seramai 468 orang pelajar menyambung pengajian di ILKBS tanpa SPM bagi tahun 2024 dan 2025. Program ini dirangka untuk meningkatkan kemahiran teknikal dan vokasional belia agar lebih bersedia memasuki pasaran pekerjaan serta meningkatkan keboleh pasaran sektor ekonomi yang pelbagai.
Bagi belia NEET yang memerlukan intervensi segera, KBS melaksanakan kursus kemahiran jangka pendek dan latihan berasaskan pekerjaan yang mana telah memanfaatkan lebih daripada 6,000 orang belia menerusi penganjuran inisiatif seperti Future Youth Skills, Bootcamp dan Rakan Muda Skills for Life, dengan izin.
KBS menerusi Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES) juga sedang melaksanakan kajian potensi daya saing dan keboleh pasaran belia Malaysia dalam pekerjaan, pendidikan dan latihan. Kajian ini membangunkan pangkalan data profil belia NEET dengan sasaran 2,000 profil setahun bagi tempoh 2025 hingga 2030.
Tuan Mordi anak Bimol
Dapatan ini akan memperkasakan lagi perancangan dan pelaksanaan inisiatif pembangunan belia, terutamanya dalam kalangan Belia NEET yang berasaskan data inklusif dan komprehensif. Sekian, terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Saya jemput Dato’ Khlir bin Mohd Nor, Ketereh.
Dato’ Khlir bin Mohd Nor - Ketereh
Terima kasih Timbalan Yang di-Pertua.
Soalan nombor 7.
7. Dato’ Khlir bin Mohd Nor [Ketereh] minta Menteri Pertahanan menyatakan mengapakah faedah rawatan perubatan bagi veteran yang berkhidmat kurang dari 10 tahun, kelulusan rawatan ditentukan oleh JHEV tetapi bagi veteran yang berkhidmat selama 10 tahun ke atas, kelulusan rawatan ditentukan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Saya jemput Timbalan Menteri Pertahanan untuk menjawab.
Timbalan Menteri Pertahanan - Tuan Haji Adly bin Zahari
Bismillahirahmanirahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan selamat sejahtera. Terima kasih Yang Berhormat Ketereh dan soalan yang dikemukakan.
Puan Yang Di-Pertua. Sebelum tahun 2005, kemudahan perubatan bagi pesara perkhidmatan awam termasuk veteran ATM adalah diperuntukkan untuk pesara dan tanggungan pesara dalam kategori berpencen sahaja dan menggunakan peruntukan kewangan di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia.
Namun atas dasar keprihatinan dan penghargaan khusus kepada komuniti veteran, kemudahan ini dipanjangkan kepada veteran ATM tidak berpencen dan tanggungan yang layak menggunakan peruntukan di bawah Kementerian Pertahanan dan diuruskan oleh Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia mulai tahun 2005 selaras dengan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 24 November tahun 2004.
Sehubungan dengan itu, pemberian kemudahan ini tidak tertakluk kepada tempoh perkhidmatan, sebaliknya berdasarkan kategori veteran sama ada dia berpencen ataupun tidak berpencen.
Sebagai makluman, matlamat Jabatan Hal Ehwal Veteran adalah untuk menyediakan pusat khidmat setempat bagi warga veteran termasuk aspek penyaluran kemudahan perubatan yang diperlukan oleh veteran dan tanggungannya. Sehubungan dengan itu, JHEV ATM melaksanakan kerjasama erat dengan pihak KKM bagi memudah cara dan memastikan perkhidmatan kepada veteran ini dapat disampaikan dengan usaha yang terbaik. Itu saja jawapan.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Ketereh.
Dato’ Khlir bin Mohd Nor - Ketereh
Terima kasih Timbalan Yang di-Pertua.
Jawapan daripada Timbalan Menteri ini selalulah comel, elok saja. Tetapi apa yang berlaku di ground, tak betul. Saya dah berjumpa ramai dah veteran. Masalahnya bila dia pergi kepada KKM, masalah ini timbul. Jadi, tolonglah Timbalan Menteri bagi tahu dekat JHEV itu, bagilah, facilitate lah sikit apa ini veteran yang berpencen ini.
Contoh, dua hari lepas saya pergi ke Tengku Mizan. Saya tengok beratur nak ambil ubat sampai tiga jam. Apa ini jadi ini? Orang tua-tua dah bertongkat semua ini.
Jadi, saya harap Timbalan Menteri tolong betulkan JHEV ini. Kenapa dia buat macam itu?
Yang terakhir, saya nak tegur MINDEF sikit ini. Budaya cium tangan menteri ini stop. Tolong stop! Saya tengok virus sekarang ini, Jeneral cium tangan menteri.
Apa ini? Tak boleh macam ini. Ibu bapa kita tak apa. Tapi cium tangan Menteri Pertahanan ini tak betul. Jadi, saya harap MINDEF betulkan benda ini. Itu saja.
Terima kasih Timbalan Menteri.
Tuan Haji Adly bin Zahari
Terima kasih kepada Yang Berhormat Ketereh.
Ada dua persoalan, tapi persoalan kedua itu saya tak perlu jawablah. Itu mungkin sebagai peringatan kepada kita semua.
Macam tadi disebut tentang perkhidmatan kesihatan kepada anggota veteran kita, ada dibangkitkan oleh Yang Berhormat Ketereh tentang dia ada dua perkara.
Tuan Haji Aminolhuda bin Hassan - Sri Gading
[Bangun]
Tuan Haji Adly bin Zahari
Pertama adalah kita di peringkat JHEV, tugas kita adalah untuk memastikan bahawa semua anggota veteran kita mendapat perkhidmatan kesihatan percuma, sama ada mereka ataupun tanggungan mereka.
Tadi Ketereh ada menyebut tentang keluhan di kalangan veteran itu sendiri.
Tapi saya menyebut bahawa sepanjang saya berkhidmat di Kementerian Pertahanan ini, kita boleh melihat bahawa pertemuan-pertemuan kita dengan veteran memang ada dibangkitkan tentang veteran berpencen, mereka terpaksa berurusan dengan KKM, veteran tidak berpencen berusaha dengan JHEV.
Tapi secara keseluruhan kita melihat bahawa baru-baru ini macam tahun lepas saya pergi ke Air Kuning. Seorang veteran, isteri dia. Tanggungan yang disediakan oleh kerajaan untuk perkhidmatan kesihatan kepada isteri veteran itu sebanyak RM250,000 dan ada juga sebahagian daripada tuntutan itu sehingga ratusan ribu ringgit.
Jadi asas yang kita nak tunjukkan di JHEV ini adalah perkhidmatan kesihatan itu sama ada dilakukan oleh JHEV ataupun dilakukan oleh KKM, kedua-dua veteran berpencen mahupun veteran tidak berpencen akan diberikan perkhidmatan kesihatan sesempurna mungkin. Ada pun dalam kes-kes yang tertentu memang ada dibangkitkan kelewatan dan seumpamanya.
Saya fikir secara keseluruhannya saya sendiri berjumpa dengan KKM sendiri beberapa kali itu. Kita mahu selaraskan bahawa sama ada dia berpencen ataupun tidak berpencen tapi perkhidmatan kesihatan dia tetap kita berikan keutamaan. Itu saja komitmen kita di Kementerian Pertahanan. Itu saja.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Sri Gading.
Tuan Haji Aminolhuda bin Hassan - Sri Gading
Terima kasih Puan Speaker. Soalan tambahan saya berkaitan dengan cium tangan tak cium tangan itu terpulang kepada individu. Cuma bila disebut dalam Parlimen ini, kesian juga Jeneral.
Soalan tambahan saya pertama sekali. Apabila yang tak berpencen dulunya tak dapat apa-apa bahagian ataupun bayaran. Sekarang ini Kerajaan MADANI telah berikan yang tidak berpencen RM500 sebulan. Bajet yang telah dikumpulkan ataupun yang telah dikeluarkan untuk yang tidak berpencen. Kerana apa? Yang tidak berpencen ini bila tak dapat bantuan kewangan daripada kerajaan, tentulah dia memberikan kesan yang sangat mendalam kepada mereka.
Berapa jumlah setahun telah diperuntukkan kepada mereka, selain daripada perubatan tadi? Terima kasih.
Tuan Haji Adly bin Zahari
Terima kasih kepada Yang Berhormat memberikan persoalan berkaitan dengan Bantuan Sara Hidup walaupun dia mungkin berbeza daripada persoalan asal. Cuma saya ingin maklumkan sedikit makluman tentang insentif kesihatan yang kita berikan kepada anggota veteran kita.
Kepada anggota veteran yang tidak berpencen ini, perkhidmatan kesihatan yang kita berikan pada tahun lalu, ada seramai 8,427 orang. Ini juga untuk makluman Ketereh jugalah. Yang berjumlah hampir RM39 juta dan kepada yang berpencen itu, ada sekitar di peringkat KKM itu ada 18,554 orang yang bernilai RM74 juta. Ada pun, kalau kita lihat persoalan yang dibukakan oleh Sri Gading tadi, yang terkait tentang Bantuan Sara Hidup.
Ingin saya maklumkan, daripada RM303 juta itu, hampir RM290 juta itu kita berikan dalam perkhidmatan kebajikan dan juga Bantuan Sara Hidup kita kepada anggota veteran angkatan tentera termasuk yang menerima RM500 sebulan, sama ada dia tidak berpencen ataupun dia berpencen di bawah parah garis kemiskinan pun kita top up dengan RM300 sebulan. Itu saja jawapan.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Saya jemput Tuan Roy Angau anak Gingkoi, Lubok Antu.
Tuan Roy Angau anak Gingkoi - Lubok Antu
Terima kasih Puan Yang di- Pertua. Terlebih dahulu Puan Yang di-Pertua saya mengalu-alukan kehadiran guru- guru dan pelajar-pelajar dari Sekolah Menengah Banang Jaya, Batu Pahat.
[Tepuk] Soalan saya nombor 8.
8. Tuan Roy Angau anak Gingkoi [Lubok Antu] minta Menteri Pendidikan menyatakan sejauh mana usaha kementerian bagi menyelesaikan isu penempatan guru di Sarawak dan apakah faktor yang menyebabkan masih terdapat lulusan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan yang belum mendapat penempatan tetap sebagai Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) Gred DG41.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Saya jemput Timbalan Menteri Pendidikan untuk menjawab.
Timbalan Menteri Pendidikan - Tuan Wong Kah Woh
Terima kasih Puan Yang di-Pertua. Terima kasih soalan daripada Yang Berhormat Lubok Antu.
Kementerian Pendidikan sentiasa memberi perhatian terhadap pengisian guru di seluruh negara bagi memastikan pengajaran dan pembelajaran di sekolah dapat dilaksanakan dengan berkesan.
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat pada tahun 2025, KPM telah menempatkan seramai 3,237 orang guru baharu di Sarawak berdasarkan kepada kekosongan jawatan dan keperluan opsyen mata pelajaran di Sarawak. Sehingga 31 Disember 2025, jumlah guru yang berkhidmat di Sarawak adalah seramai 42,315 orang, daripada jumlah perjawatan 43,257 orang dengan peratus pengisian sebanyak 97.82 peratus.
Untuk maklumat Ahli Yang Berhormat, urusan pengambilan guru adalah dilaksanakan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan berdasarkan kepada kekosongan jawatan dan juga keperluan opsyen mata pelajaran di peringkat KPM.
Kesemua calon perlu melalui tapisan dan juga saringan yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan, memenuhi syarat skim perkhidmatan, padanan kluster mata pelajaran, berjaya dalam temu duga dan diperakui sihat oleh pengamal perubatan yang bertauliah untuk dilantik oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan.
Dalam konteks ini, KPM akan terus komited dalam menambah baik proses pengambilan guru baharu dengan mempertingkatkan sinergi dan kerjasama rapat antara KPM dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan bagi memastikan isu pengisian guru di seluruh negara dapat ditangani. Terima kasih Puan Yang di-Pertua.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Lubok Antu.
Tuan Roy Angau anak Gingkoi - Lubok Antu
Terima kasih. YB Timbalan Menteri atas penjelasan tersebut. Saya difahamkan terdapat dalam kalangan lepasan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terpaksa berkhidmat sebagai guru sandaran selama dua hingga tiga tahun dan masih belum mendapat penempatan sebagai guru tetap sedangkan pada masa yang sama kita juga— saya juga telah dimaklumkan terdapat di sekolah-sekolah di Sarawak masih berhadapan dengan masalah guru.
Tuan Roy Angau anak Gingkoi - Lubok Antu
Jadi soalan saya, adakah pihak kementerian akan memberi keutamaan kepada guru-guru sandaran yang telah lama menunggu penetapan tetap sebelum mengambil graduan daripada pelbagai bidang yang bukan ikhtisas pendidikan bagi mengisi kekosongan guru di sekolah-sekolah di Sarawak?
Tuan Haji Kamal bin Ashaari - Kuala Krau
[Bangun]
Tuan Wong Kah Woh
Terima kasih soalan tambahan daripada Yang Berhormat Lubok Antu. Terima Kasih Puan Yang di-Pertua. Dan dalam perkara soalan tambahan yang telah pun dibangkitkan tadi, nombor satu berkenaan dengan pengisian guru di Sarawak seperti yang saya sebut tadi, pengisian telah pun mencecah 97.82 peratus dan pengisian dia berbeza dari setiap daerah dan juga sekolah. Itu nombor satu.
Nombor dua berkenaan dengan pengambilan guru-guru kita dari UPSI ataupun Universiti-universiti Awam. Sememangnya di— sememangnya KPM mengambil satu pendekatan bahawa graduan pendidikan lepasan IPG dan juga Universiti Awam yang diberi tajaan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia akan diberikan keutamaan dalam segala pelantikan. So, dari segi senarai dia:
(i) graduan pendidikan lepasan IPG dan UA;
(ii) graduan pendidikan lepasan UA;
(iii) graduan tanpa pendidikan lepasan UA iaitu mereka yang tidak mempunyai ikhtisas yang akan dilantik sebagai contract of service;
(iv) graduan pendidikan lepasan universiti swasta dan universiti luar negara; dan
(v) graduan tanpa pendidikan lepasan universiti swasta dan universiti luar negara.
So secara singkatnya, secara kesimpulannya, sememangnya graduan pendidikan lepasan IPG dan Universiti Awam akan diberikan keutamaan oleh KPM dan juga SPP dalam segala pelantikan. Dan sekiranya terdapat kekosongan ataupun kekurangan dari segi option, maka pihak KPM akan berkolaborasi dengan SPP bagi tujuan untuk pengambilan secara contract of service bagi golongan mereka dari graduan tanpa pendidikan khasnya daripada Universiti Awam dan selepas itu diikuti dengan universiti swasta. Terima kasih Puan Yang di-Pertua.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Kuala Krau.
Tuan Haji Kamal bin Ashaari - Kuala Krau
Terima kasih Yang di-Pertua krisis tentang kekurangan guru ni sentiasa berlakulah. Terutamanya selepas akan— 2027 apabila Tahun 1 dimulakan dengan umur enam tahun. Pastinya ia akan memberikan peningkatan yang lebih— yang lebih.
Jadi soalan saya, apakah kerajaan akan menyerapkan graduan pendidikan awal kanak-kanak sama ada IPG ataupun IPT ke skim Gred DG9 yakni pra rendah dengan standard kompetensi yang terperinci serta menyediakan laluan APEL bagi calon berpengalaman bagi mengatasi masalah ini dan yang kedua, apakah ada satu kajian kenapa masalah kekurangan terutamanya disebut di Sarawak tadi telah mencecah hampir 98 peratus tetapi bila di pertengahan tahun masalah ini akan kembali balik.
Apakah ia dilihat sama ada berpunca daripada tekanan yang dirasai oleh guru di pedalaman? Dengan itu, apakah kerajaan bercadang untuk menaikkan insentif- insentif yang lebih menarik bagi menarik guru-guru untuk berkhidmat terutama di pedalaman Sabah Sarawak dan juga pedalaman Semenanjung? Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Tuan Wong Kah Woh
Terima kasih soalan daripada Yang Berhormat Kuala Krau. Mungkin saya jawab bahagian kedua soalan terlebih dahulu. Sememangnya dalam isu berkenaan dengan penempatan guru-guru di sekolah-sekolah pedalaman di mana-mana. So kita ada tiga kategori yang mana pihak KPM mengkategorikan sekolah pedalaman sebagai P1, P2 dan P3 dan pada ketika ini untuk guru-guru yang berkhidmat di pedalaman P1, sekolah pedalaman P1 akan diberikan elaun tambahan RM500, P2 RM1,000 dan P3 RM1,500. Dan kebajikan guru sentiasa pihak KPM akan tangani dan juga jaga. Itu nombor satu.
Nombor dua berkenaan dengan kemasukan anak-anak kita pada five plus dengan izin ataupun pada umur enam pada tahun hadapan. Kita sememangnya akan menjangka bahawa ia akan mendatangkan satu situasi double cohort yang memerlukan lebih ramai guru.
Oleh sebab itu, pihak KPM telah pun membuat keputusan dengan kolaborasi dengan SPP 20,000 orang guru akan diambil secara COS kerana dari IPG itu unjuran sebelum ini adalah untuk kemasukan satu kohort dan apabila kita memerlukan guru tambahan bagi tahun 2027, maka kita mengambil guru secara COS, contract of service dengan izin, yang mana kita mengambil guru-guru dari kalangan mereka yang tidak mempunyai ikhtisas. Yang tidak mempunyai ikhtisas. So, maka pelantikannya boleh dibuat pada tahun ini untuk menampung keperluan pada tahun hadapan.
Pada masa yang sama juga, ada isu sama ada kita akan menggerakkan calon-calon simpanan yang kini dalam senarai SPP. Untuk kesemua calon-calon simpanan ini, mereka akan diberikan keutamaan sekiranya option yang dipegang oleh calon-calon tersebut memenuhi kehendak kekurangan ataupun kekosongan option yang ada dalam persediaan kita pada tahun hadapan. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Saya jemput Tuan Afnan Hamimi Bin Dato’ Taib Azamudden, Alor Setar.
Tuan Afnan Hamimi bin Dato' Haji Taib Azamudden - Alor Setar
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Jangan stress di tempat kerja, Nanti jadi LGBT; Soalan 9 soalan saya, Pohon jawapan YB Menteri.
9. Tuan Afnan Hamimi bin Dato' Haji Taib Azamudden [Alor Setar] minta Menteri Komunikasi menyatakan bagaimana agihan Dana Inovasi Media sebanyak RM30 juta untuk memperkasa media tempatan dan penghasilan kandungan kreatif dengan memberi fokus kepada program latihan, adaptasi teknologi dan penyelidikan & pembangunan (R&D) untuk media digital yang kreatif ini akan mendorong pembangunan bakat.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Saya jemput Timbalan Menteri Komunikasi untuk menjawab.
Timbalan Menteri Komunikasi - Puan Teo Nie Ching
Terima kasih Puan Speaker. Terima kasih Ahli Yang Berhormat. Puan Yang di-Pertua, Kementerian Komunikasi telah memperkenalkan Dana Inovasi Media sebagai satu inisiatif strategik kerajaan dalam melaksanakan tanggungjawabnya untuk memastikan kelangsungan industri media tempatan melalui lebih banyak— lebih banyak peluang pekerjaan kepada pengamal media dalam menghadapi cabaran ekosistem digital yang semakin berkembang pesat.
Dana ini bertujuan mempercepat proses transformasi digital organisasi media tempatan, memperkukuh keupayaan pengamal media melalui penerapan teknologi baharu dan inovasi kandungan, meningkatkan daya saing dan kemampanan organisasi media dalam era digital serta menggalakkan penghasilan kandungan media yang berkualiti, beretika dan bertanggungjawab.
Inisiatif ini juga penting bagi memastikan organisasi media arus perdana dan alternatif mampu menyesuaikan diri dan memupuk persaingan yang kondusif dan konstruktif dengan pertumbuhan pesat pencipta kandungan dan pempengaruh digital tanpa menjejaskan prinsip kewartawanan dan kepentingan awam.
Bagi tujuan tersebut, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM 30 juta untuk pelaksanaan Dana Inovasi Media. Dana ini terbuka kepada organisasi media tempatan yang berdaftar secara sah dan memenuhi syarat kelayakan yang ditetapkan termasuk pendaftaran dengan Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) sebagai langkah memastikan penyaluran dana dilaksanakan secara berintegriti dan juga berfokus.
Permohonan Dana Inovasi Media dilaksanakan secara berfasa melalui portal rasmi https://danainovasimedia.komunikasi.gov.my. Pembiayaan yang ditawarkan adalah sehingga RM300,000 bagi setiap permohonan tertakluk kepada penilaian dan kelulusan jawatankuasa yang ditetapkan.
Sebagai sebahagian daripada proses penilaian, pemohon yang memenuhi syarat akan dipanggil untuk sesi pembentangan, dengan izin pitching yang berlangsung mulai hari ini 5 Februari 2026. Dana ini boleh digunakan bagi tujuan latihan dan peningkatan kemahiran berkaitan teknologi media, pemberian atau naik taraf peralatan dan pengisian media dan pembangunan inovatif serta inisiatif digital lain yang menyokong transformasi organisasi media, sekali gus membantu mengekalkan tenaga kerja sedia ada dan mewujudkan peluang pekerjaan baharu dalam sektor media digital.
Media juga bertanggungjawab memastikan dana ini dimanfaatkan sepenuhnya bagi tujuan penghasilan berita dan kandungan yang mampu menyemai perpaduan, meningkatkan pengetahuan rakyat, memupuk semangat kenegaraan dan kebersamaan serta menyediakan informasi serta maklumat yang disampaikan adalah tepat dan mematuhi etika kewartawanan. Sekian jawapan saya, terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Alor Setar.
Tuan Afnan Hamimi bin Dato' Haji Taib Azamudden - Alor Setar
Terima kasih Puan Speaker. Terima kasih Yang berhormat Timbalan Menteri, sahabat saya.
Mengenai inisiatif dana ini sangat baik. Soalan saya ialah bagaimana kerajaan nak memastikan ketelusan pemberian dana ni supaya benar-benar diberi kepada pihak pemain media yang betul-betul memerlukan.
Tuan Afnan Hamimi bin Dato' Haji Taib Azamudden - Alor Setar
Kalau dana ini telah pun mula diagihkan, bolehkan Yang Berhormat Timbalan Menteri dedahkan siapakah yang telah menerimanya? Kalau belum lagi, mungkin didedahkan selepas ini supaya ketelusan itu dapat dilihat.
Yang kedua, apabila dana ini datang daripada kerajaan, bagaimana kerajaan nak memastikan media ini bebas melaporkan? Tadi Yang Berhormat sebut ada prinsip kewartawanan, etika kewartawanan. Jadi, mereka kena laporkan dengan bebas tanpa perlu terikat dengan naratif mana-mana pihak, terutamanya naratif kerajaan. Bagaimana perkara ini dapat dijamin supaya media ini bebas, tidak mengongkong dengan dana yang diberikan?
Dan akhir sekali, point Yang di-Pertua yang ketiga, menyentuh tentang penghasilan kandungan kreatif. Kita ada lihat bakat-bakat tempatan. Contohnya, dalam yang terbaru ini Astro Shaw Cinematic Universe. Filem beraksikan ataupun bertemakan cinematic universe ini, yang bersambung-sambung, bersiri-siri. Hero ini muncul dalam filem yang lain. Di peringkat antarabangsa telah pun ada. Captain Marvel, Fast & Furious. Di Malaysia ini, kita baru mula menceburi. Kita ada Sheriff.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Ringkaskan soalan.
Tuan Afnan Hamimi bin Dato’ Haji Taib Azamudden - Alor Setar
Kita nak Sheriff. itu, kita nak Sheriff itu muncul dalam filem-filem lain. Jadi, bagaimana dana ini dapat bantu industri filem tempatan untuk bertemakan cinematic universe ini dapat terus berkembang? Terima kasih Puan Yang di-Pertua.
Puan Teo Nie Ching
Terima kasih Ahli Yang Berhormat...
Dato Dr. Richard Rapu @ Aman anak Begri - Betong
[Bangun]
Puan Teo Nie Ching
Terima kasih Puan Speaker. Pertama, sebenarnya kami ada satu jawatankuasa yang ditubuhkan untuk buat penilaian dan juga buat pemilihan. Jawatankuasa itu dipengerusi oleh TKSU Kementerian Komunikasi yang duduk dalam jawatankuasa ini termasuklah SUB, termasuklah SUA kepada Menteri Komunikasi dan jugalah, kita juga ada wakil daripada JAPEN, MCMC dan juga IPPTAR. Jadi, mereka yang akan buat penilaian.
Seperti yang saya sebut tadi, hari ini adalah hari pertama untuk pemohon buat pitching. 10 akan dipanggil untuk buat pitching pada hari ini. Yang baki ada dua, 29 lagi juga akan dipanggil untuk buat pitching. Dan jawatankuasa ini akan buat penilaian dan menentukan sama ada permohonan mereka dilulus dan sekiranya dilulus, apa jumlah dana yang akan diluluskan kepada mereka. Jadi ini untuk soalan pertama.
Untuk kedua, tentang kebebasan media. Saya rasa ini adalah satu dilema yang dihadapi oleh kerajaan. Media kita, khasnya media tempatan, media tradisional, mereka cakap bahawa dalam zaman digital ini, banyak persaingan yang mereka hadapi khasnya apabila advertising expenditure, expenses sebenarnya sekarang banyak pergi ke Google, banyak pergi ke platform seperti Meta dan mereka yang— media tempatan yang mereka dapat sebenarnya sudah jatuh dengan begitu besar, banyak.
Jadi oleh sebab itu, kerajaan memperkenalkan dana ini. Dana ini saya rasa hasrat kita bukanlah untuk memastikan bahawa media-media ini akan selalulah cakap baik tentang kerajaan. Saya boleh bagi senarai dekat sini yang selalu sangat- sangat kritikal terhadap kerajaan pun banyak. Dalam senarai 39 yang dipanggil ini, kami ada pelbagai bahasa, kita ada Astro ada buat permohonan, kita ada New Straits Times, kita ada China Press, kita ada sepertilah Sin Chew Daily, Makkal Osai dan jugalah daripada Sabah Sarawak, DayakDaily, Tawaukini, Vanakkam Malaysia. Jadi, saya rasa kalau tengok track record mereka, mereka sebenarnya juga sangat-sangat kritikal terhadap apa-apa yang dilaksanakan oleh kerajaan. Mereka tidak akan selalu puji-puji kerajaan sahaja. Jadi, hasrat untuk kita memperkenalkan dana ini adalah untuk memasti media kita khasnya media tempatan boleh transform dalam zaman digital ini.
Soalan ketiga sebenarnya adalah tentang animasi ataupun tentanglah filem tempatan. Itu bukan di bawah dana ini tetapi itu adalah di bawah FINAS. Kami juga ada dana seperti FIMI untuk membantu mereka. Oleh sebab itu, dia tak sentuh tentang dana informasi media. Saya tak bagilah jawapan yang panjang. Terima kasih, Puan Speaker.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Betong.
Dato Dr. Richard Rapu @ Aman anak Begri - Betong
Terima kasih Puan Yang di-Pertua. Saya ingin bertanya dari segi impak jangka panjang dan kelas tarian industri. Bagaimanakah kementerian memastikan bakat yang dibangunkan melalui dana ini tidak berhijrah keluar daripada industri media tempatan akibat gaji yang rendah ataupun ketidakstabilan kerjaya? Dan adakah dana ini akan disepadukan dengan dasar-dasar lain seperti insentif cukai, perlindungan pekerja kreatif atau reformasi model pembiayaan media? Sekian, terima kasih.
Puan Teo Nie Ching
Terima kasih Ahli Yang Berhormat ataslah soalan tersebut. Dana ini akan disalurkan terus kepada pemohon iaitu organisasi media yang buat permohonan kepada JAPEN. Oleh sebab itu, sebenarnya dana ini tak terus, secara terus pergi ke pengamal media tetapi pengamal media memang akan teruslah menerima manfaat di bawah dana ini. Kerana dana ini juga boleh diguna pakai untuk sebenarnya bagilah latihan, upskilling untuk pengamal media.
Jadi, saya rasa untuk memastikan bahawa pengamal media akan kekal dalam industri media dalam organisasi tersebut ataupun mereka akan kekal dekat Malaysia walaupun pergi ke organisasi yang lain, saya rasa itu adalah syarat-syarat yang ditetapkan apabila organisasi media itu buat pilihan.
Tetapi memang saya rasa tujuan untuk kita memperkenalkan dana ini adalah pertama, kita nak pastikan bahawa kita boleh wujudkan satu ekosistem yang lebih sihat. Kita boleh pastikan bahawa pengamal media kita bolehlah adapt kepada teknologi terbaharu dan pada masa yang sama kita nak pastikan bahawa kualiti berita-berita yang dihasilkan itu tidak terjejas. Sekian sahaja jawapan saya. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Terima kasih.
Yang Berhormat sekarang tamatlah sesi untuk Waktu Pertanyaan-pertanyaan bagi Jawapan Lisan.
[Sesi Pertanyaan-pertanyaan bagi Jawab Lisan tamat]
Timbalan Menteri Pendidikan - Tuan Wong Kah Woh
Puan Yang di- Pertua, “Mengikut Peraturan Mesyuarat 12(1), saya mohon mencadangkan bahawa Mesyuarat pada hari ini tidak akan ditangguhkan sehingga giliran Kementerian Pendidikan seperti yang tertera di Nombor 16 dalam susunan giliran Yang Berhormat Menteri-menteri menjawab ke atas perbahasan Usul Menjunjung Kasih ke atas Titah Diraja yang telah diedarkan dan selepas itu Majlis Mesyuarat akan ditangguhkan sehingga jam 10 pagi, hari Isnin 9 Februari 2026.”
Timbalan Menteri Komunikasi - Puan Teo Nie Ching
Saya menyokong.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Ahli-ahli Yang Berhormat, sekarang saya kemukakan masalah kepada Majlis untuk diputuskan.
Masalahnya ialah Usul seperti yang dikemukakan tadi hendaklah disetujui.
[Usul dikemukakan bagi diputuskan; dan disetujukan]
Aturan Urusan Mesyuarat dibaca bagi menyambung semula perbahasan yang ditangguhkan atas masalah; “Bahawa suatu ucapan yang tidak sepertinya dipersembahkan kepada Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, demikian bunyinya:
“Ampun Tuanku, Patik, Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Dewan Rakyat Malaysia di dalam Persidangan Parlimen, memohon ampun mempersembahkan suatu ucapan yang ikhlas mengucapkan daripada Majlis Dewan Rakyat berbanyak-banyak syukur dan menjunjung kasih Titah Ucapan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di- Pertuan Agong semasa membuka Penggal
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam - Dato’ Sri Arthur Joseph Kurup
Selamat tengah hari. Salam sejahtera dan salam Malaysia MADANI. Puan Yang di-Pertua, saya terlebih dahulu ingin menjunjung setinggi-tinggi kasih atas titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang menekankan kesejahteraan rakyat, integriti tadbir urus serta keperluan mengekalkan keharmonian dan kedaulatan negara.
Selaras dengan permulaan Rancangan Malaysia Yang Ketiga Belas, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam ataupun NRES akan terus mempergiatkan usaha menangani perubahan iklim, melindungi khazanah biodiversiti, mengurus sumber asli dan alam sekitar secara lestari dan mampan serta menyokong agenda pembangunan rendah karbon demi kesejahteraan rakyat dan generasi masa hadapan.
NRES juga akan memperkukuhkan kerjasama erat dengan kerajaan negeri khususnya Sabah dan Sarawak berlandaskan semangat Perjanjian Malaysia 1963 bagi memastikan kepentingan bersama negara sentiasa diutamakan melalui pendekatan harmoni dan saling menghormati.
Seterusnya, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih atas keprihatinan semua Ahli-ahli Yang Berhormat yang telah membahaskan isu-isu di bawah NRES.
Kami daripada kementerian sangat menghargai segala pandangan, cadangan dan teguran yang membina dan akan ambil secara serius dalam kita menambahbaikkan pengurusan dan pentadbiran.
Maka izinkan saya untuk menjawab dan memberikan pandangan terhadap persoalan yang dibangkitkan mengikut lima sektor yang dibangkitkan iaitu:
(i) perubahan iklim;
(ii) mineral dan geosains;
(iii) perhutanan dan biodiversiti;
(iv) alam sekitar; dan
(v) pengurusan tanah Persekutuan.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam - Dato’ Sri Arthur Joseph Kurup
Saya bermula dengan sektor perubahan iklim di mana Yang Berhormat Simpang Renggam telah bertanya mengenai inisiatif kerajaan dalam mencipta model pembangunan rendah karbon yang inklusif agar tidak kekal sebagai negara yang pengguna semata-mata. Salah satu strategi kerajaan untuk mengangkat Malaysia sebagai peneraju dan rujukan global dalam mencipta model pembangunan rendah karbon yang inklusif adalah melalui pelaksanaan dasar pembangunan negara seperti Rancangan Malaysia dan pelaksanaan dasar-dasar sektoral yang berkenaan.
Sebagai contoh RMK11, kerajaan telah memperkenalkan konsep “Sustainable Consumption and Production (SCP)” yang kemudiannya diperkukuh di bawah RMK12 melalui pendekatan circular economy sebagai pemacu baharu pertumbuhan ekonomi rendah karbon.
Pendekatan ini menggalakkan penggunaan sumber secara cekap dan penggunaan semula sisa sebagai sumber ekonomi selari dengan usaha mengurangkan pelepasan gas rumah kaca ataupun GHG dan pencemaran alam sekitar serta mengurangkan kebergantungan kepada sumber semula jadi, seterusnya memastikan kelestarian alam. Pelaksanaan dasar ini disokong oleh pelaksanaan dasar sektoral seperti Dasar Perubahan Iklim Negara, Dasar Teknologi Hijau, Pelan Induk Teknologi Hijau, Pelan Induk Bandar Rendah Karbon Negara, Low Carbon Cities Framework (LCCF) dan Low Carbon Mobility Blueprint (LCMB).
Melalui kerangka ini, kerajaan membangunkan model pelaksanaan rendah karbon yang bersifat tempatan, praktikal dan inklusif melibatkan kerajaan negeri, PBT, sektor industri, komuniti dan perusahaan kecil dan sederhana atau PKS.
Sebagai contoh, melalui pelaksanaan LCCF dan program Low Carbon Cities 2030 Challenge ataupun LCC2030C, PBT digalakkan untuk melaksanakan inisiatif rendah karbon secara konsisten dalam lima sektor utama melibatkan tenaga, air, sisa, mobiliti dan kehijauan.
Program LCC2030 bertujuan mempercepatkan transformasi bandar ke arah rendah karbon serta merangkumi mekanisme pengiktirafan bagi menghargai usaha dan komitmen berterusan PBT dan organisasi yang berjaya mengurangkan pelepasan karbon, sekali gus mendorong mereka terus melaksanakan inisiatif pembangunan bandar yang mampan. Pendekatan ini memastikan pelaksanaan inisiatif rendah karbon berlaku secara menyeluruh, bersepadu dan berimpak tinggi di peringkat bandar.
Dalam sektor mobiliti pelaksanaan LCMB pula turut merangsang pembangunan ekosistem kenderaan elektrik atau EV domestik dan peralihan kepada pengangkutan awam berkapasiti tinggi. LCMB menggalakkan penglibatan pengeluar tempatan dalam pembangunan dan pengeluaran EV termasuk model buatan Malaysia seperti Proton eMAS, Perodua QV-E dan Modenas MEV sambil menggalakkan pembangunan teknologi hijau tempatan dan memperkukuh rantaian nilai ekonomi hijau.
Bagi memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab teknologi hijau di peringkat serantau, antara program yang dijalankan oleh kementerian adalah International Greentech and Eco Products Exhibition and Conference Malaysia
(IGEM). IGEM merupakan platform strategik yang memfokuskan kepada teknologi hijau dan penyelesaian mesra alam di peringkat antarabangsa.
Program tahunan ini menghimpunkan pempamer, penggubal dasar, pelabur dan pakar industri bagi mempamerkan dan berkongsi berkenaan inovasi teknologi hijau ke arah pembangunan mampan negara. IGEM turut berperanan sebagai pemangkin pelaburan dan perdagangan teknologi hijau negara melalui penganjuran secara sampingan, sesi suai temu perniagaan dan majlis pematerian perjanjian persefahaman antara industri tempatan dan antarabangsa.
Program ini telah mendapat pengiktirafan The Malaysian Book of Records pada tahun 2024 sebagai pameran teknologi hijau terpanjang berterusan di Malaysia yang merupakan tahun ke-15 ia dilaksanakan. Menilai dari segi aspek pencapaian pula, IGEM 2025 telah mencatatkan pencapaian penjanaan potensi pelaburan sebanyak RM2.7 bilion. Penglibatan 44 buah negara, melibatkan 414 reruai pameran serta kehadiran 57,000 pelawat. Kejayaan ini mengukuhkan kedudukan IGEM khususnya dan negara amnya sebagai platform strategik yang menyokong agenda teknologi hijau di peringkat antarabangsa.
Seterusnya, Yang Berhormat Kubang Kerian telah mohon penjelasan mengenai mekanisme pembiayaan alternatif bagi menampung...
Datuk Andi Muhammad Suryady bin Bandy - Kalabakan
Mohon mencelah.
Dato' Sri Arthur Joseph Kurup
...Kekurangan dana iklim hijau atau [Tidak jelas].
Datuk Andi Muhammad Suryady bin Bandy - Kalabakan
Mohon mencelah Menteri, sekejap.
Dato' Sri Arthur Joseph Kurup
Dipersilakan.
Datuk Andi Muhammad Suryady bin Bandy - Kalabakan
Saya ingin mengalu-alukan kehadiran rombongan dari Parlimen Kalabakan. Itu saja Menteri, terima kasih.
[Tepuk]
Dato' Sri Arthur Joseph Kurup
Terima kasih Ahli Yang Berhormat.
Biasanya kita tidaklah memberi masa dan ruang untuk itu, tapi disebabkan dari kawasan YB Kalabakan sendiri, memang perlu diutamakan. Terima kasih.
Kawasan Kalabakan ini jauh Puan Yang di-Pertua, jauh. Jadi, bukan mudah untuk mereka sampai ke sini. Selamat datang ke Dewan Rakyat dan bangunan Parlimen, rombongan daripada Kalabakan.
Seterusnya saya sambung balik soalan daripada YB Kubang Kerian mohon penjelasan mengenai mekanisme pembiayaan alternatif bagi menampung kekurangan Dana Iklim Hijau ataupun GCF, susulan penarikan Amerika Syarikat daripada Perjanjian Paris. Malaysia merupakan negara ahli kepada konvensyen pelbagai hala alam sekitar utama iaitu Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa bersatu Mengenai Perubahan Iklim ataupun UNFCCC, Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Mengenai Kepelbagaian Biologi (UNCBD) dan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu UNCCD.
Keahlian ini membolehkan Malaysia sebagai negara membangun terus dipertimbangkan untuk menerima sokongan pembiayaan antarabangsa melalui mekanisme sedia ada seperti Global Environment Facility (GEF), Green Climate Fund (GCF) dan Adaptation Fund, tanpa bergantung kepada satu sumber dana sahaja.
Di bawah GEF kitaran kelapan iaitu daripada Julai 2022 hingga ke Jun 2026, Malaysia telah diperuntukkan sebanyak USD26.32 juta. Malaysia telah menunjukkan prestasi yang sangat baik dengan memanfaatkan sepenuhnya peruntukan bagi bidang perubahan iklim dan kemerosotan tanah serta merancang untuk menggunakan sepenuhnya baki peruntukan biodiversiti berjumlah USD11.5 juta.
Sekiranya semua projek diluluskan, Malaysia dijangka mencapai status 100 peratus penggunaan peruntukan GEF kelapan, sekali gus membuktikan keupayaan tadbir urus dan kesiapsiagaan negara dalam mengakses dana antarabangsa.
Prestasi ini menjadi asas yang penting untuk mengekalkan keyakinan bagi peruntukan GEF kitaran yang kesembilan yang dijangka akan diterima bagi tempoh Julai 2026 hingga ke Jun 2030.
Selain GEF, Malaysia masih mempunyai akses kepada Adaptation Fund yang ditubuhkan di bawah Protokol Kyoto. Adaptation Fund ini menyediakan pembiayaan khusus untuk inisiatif adaptasi perubahan iklim yang berasaskan keutamaan nasional. Buat masa ini, Malaysia telah menggunakan USD10 juta bagi satu projek adaptasi berasaskan alam semula jadi di Pulau Pinang dan masih mempunyai ruang untuk mengakses peruntukan tambahan sehingga had maksimum USD40 juta yang diperuntukkan bagi setiap negara.
Dalam konteks GCF sendiri, Malaysia masih kekal aktif dan relevan. Negara telah melaksanakan beberapa projek nasional dan serantau yang bernilai besar termasuk kelulusan projek pelbagai negara bernilai RM375.4 juta pada Februari 2025 serta pembiayaan Pelan Tindakan Adaptasi Kebangsaan ataupun MyNAP berjumlah USD3 juta dengan perancangan untuk fasa susulan dengan tambahan dana USD3 juta.
Dato' Sri Arthur Joseph Kurup
Ini menunjukkan bahawa walaupun terdapat ketidaktentuan geopolitik global di peringkat global, GCF masih berfungsi dan boleh dilengkapi dengan sumber pembiayaan yang lain.
Maka kesimpulannya, Malaysia tidak bergantung sepenuhnya kepada GCF semata-mata. Melalui kepelbagaian mekanisme pembiayaan antarabangsa seperti GEF dan Adaptation Fund, prestasi tadbir urus dana yang cemerlang serta perancangan awal bagi kitaran pembiayaan akan datang. Malaysia mempunyai asas yang kukuh untuk terus menyokong agenda mitigasi dan adaptasi perubahan iklim, sekali gus memastikan sasaran pelepasan GHG sifar bersih menjelang 2050 kekal boleh dicapai.
Seterusnya, Yang Berhormat Sik telah mohon kerajaan menjelaskan komitmen dalam memperkasakan dasar perubahan iklim negara yang bersifat jangka panjang dan holistik bagi menangani krisis cuaca ekstrem serta bencana alam yang semakin kerap. Tuan Yang di-Pertua, kerajaan komited dalam memperkukuhkan tindakan adaptasi perubahan iklim bagi memastikan negara lebih bersedia menghadapi impak cuaca ekstrem dan bencana alam.
Susulan itu, teras strategik yang ketiga di bawah Dasar Perubahan Iklim Negara 2.0 atau DPIN 2.0 yang diluncurkan pada September 2024, iaitu memperkukuhkan langkah adaptasi dan daya tahan iklim untuk mencapai matlamat sosioekonomi dan pembangunan mampan telah menetapkan empat strategi utama.
Strategi ini merangkumi perancangan berasaskan risiko yang mengintegrasikan adaptasi merentas desa, sektor dan pelan pembangunan serta pendekatan bersepadu untuk manfaat semua pihak.
Bagi menyokong teras strategik tersebut juga, NRES dengan kerjasama organisasi antarabangsa dan agensi tempatan kini sedang membangunkan Pelan Adaptasi Kebangsaan ataupun MyNAP. Dokumen ini akan menjadi panduan asas untuk merangka strategi tindakan negara bagi menangani kesan perubahan iklim seperti banjir, kenaikan paras laut, hakisan pantai dan kemarau. Sektor jaminan air dan sumber pesisir serta infrastruktur dan bandar adalah dua daripada lima sektor utama yang akan diberikan keutamaan dalam pembangunan dokumen MyNAP.
Melalui pendekatan whole-of-nation, kementerian akan memastikan strategi yang dibangunkan tidak hanya tertumpu kepada infrastruktur fizikal semata-mata, malah merangkumi pengurusan risiko dalam aspek keselamatan awam serta ancaman terhadap komuniti-komuniti yang mudah terancam.
Langkah adaptasi adalah satu proses yang berpanjangan dalam menghadapi cabaran persekitaran yang sering berubah. Sehubungan dengan itu, NRES mengalu-alukan sebarang inisiatif atau usaha adaptasi daripada pelbagai pihak, sama ada daripada sektor awam, swasta mahupun individu bagi menyokong agenda ini selagi usaha tersebut tidak memberikan impak negatif terhadap alam sekitar dan masyarakat secara amnya.
Seterusnya Puan Yang di-Pertua, saya akan beralih kepada sektor mineral dan geosains dan mula daripada soalan daripada YB Pendang yang memohon penjelasan kerajaan, adakah eksport unsur nadir bumi ataupun REE Malaysia kini terhad kepada Amerika Syarikat sahaja. Untuk makluman Ahli-ahli Yang Berhormat, perjanjian perdagangan timbal balas ataupun ART antara Malaysia dan Amerika Syarikat tidak menetapkan sebarang peruntukan atau mengehadkan eksport REE Malaysia hanya kepada Amerika Syarikat.
Perjanjian tersebut tidak mewujudkan komitmen eksklusif, kewajipan pembekalan atau keutamaan pasaran yang mengikat Malaysia untuk mengeksport REE kepada mana-mana negara tertentu. Kerajaan Malaysia juga ingin menegaskan bahawa REE tidak pernah ditawarkan sebagai konsesi atau balasan dalam mana- mana rundingan perdagangan atau tarif dengan Amerika Syarikat.
Selaras dengan dasar semasa negara, Malaysia masih mengekalkan larangan eksport mentah REE bagi memastikan sumber strategik ini tidak dieksploitasi tanpa nilai tambah dan bagi menggalakkan pembangunan keseluruhan rantaian nilai industri dalam negara termasuk pemprosesan, penyelidikan dan pembangunan serta pengeluaran produk hiliran. Dasar ini digubal dengan mengambil kira kepentingan jangka panjang negara, pembahagian bidang kuasa antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri serta keperluan memastikan pembangunan industri REE dilaksanakan secara mampan dan bertanggungjawab.
Yang Berhormat Mersing bertanya apakah status terkini pelaksanaan...
Tuan Fathul Huzir bin Ayob - Gerik
Yang Berhormat Menteri, sedikit boleh?
Datoʼ Sri Arthur Joseph Kurup
Silakan.
Tuan Fathul Huzir bin Ayob - Gerik
Berkenaan REE tadi, jadi Gerik nak bertanyalah. Selepas perlombongan yang pertama REE di Gerik itu, kalau ikutkan dah masuk tahun kelimalah kut kan. Ataupun kalau ikutkan dekat hampir lapan tahun dah proses daripada permohonan lesen dan sebagainya sehinggalah pengeluaran hasil.
Jadi, adakah kerajaan bercadang untuk buka lagi lombong REE dalam masa yang terdekat untuk memastikan supaya kita dapat tengok perbezaan? Contohnya di Gerik ni kan mungkin satu company MCRE apa namanya kan. Mungkin di tempat lain menggunakan company yang lain pula untuk tengok apakah perbezaan dan apa yang kita boleh pelajari atau apakah hasil sebenar dan sebagainya.
Datoʼ Sri Arthur Joseph Kurup
Terima kasih Yang Berhormat. Untuk maklumat Ahli-ahli Yang Berhormat, industri REE di Malaysia dia masih lagi di peringkat infancy, dengan izin. Faktor utama kenapa kita masih di peringkat begini adalah yang pertama, kita belum bersedia dengan kepakaran ataupun teknologi untuk memanfaatkan sumber yang dimiliki sepenuhnya. Dan yang kedua, kita belum lagi ada loji pemprosesan bagi mengasingkan unsur REE yang bernilai tinggi daripada sumber tempatan dan juga penghalang untuk industri ini dibangunkan dengan pantas.
Maka dengan itu, di peringkat Kerajaan Persekutuan, kita menetapkan dasar ke depan berkaitan dengan industri REE. Tetapi sekiranya ada soalan yang lebih spesifik berkaitan dengan permit untuk melombong REE itu sebenarnya di bawah bidang kuasa kerajaan negeri yang menetapkan tapak-tapak yang boleh diizinkan untuk kerja-kerja pelombongan.
Maka dengan itu, saya meneruskan dengan soalan daripada YB Mersing yang bertanyakan tentang status pelaksanaan pemetaan hidrogeologi secara komprehensif dan sejauh manakah data ini sedang diintegrasikan dalam perancangan infrastruktur air negara. Untuk makluman Ahli-ahli Yang Berhormat, projek pemetaan dan penilaian sumber air bawah tanah negara memfokuskan kepada penilaian potensi air bawah tanah serta mengenal pasti kawasan-kawasan berpotensi sebagai medan telaga yang boleh dibangunkan bagi menangani kesan perubahan iklim global yang dijangka akan melanda negara pada masa yang akan datang.
Pada masa ini, projek pemetaan dan penilaian sumber air bawah tanah negara sedang giat dilaksanakan di beberapa negeri seperti Kedah, Melaka, Sabah dan Kelantan. Projek di Kedah telah siap sepenuhnya pada tahun 2025. Projek di Melaka sedang dilaksanakan dan dijangka siap pada tahun 2026. Manakala di Sabah dan Kelantan berada di fasa awal untuk pelaksanaan yang masing-masing dijangka siap pada tahun 2028 dan 2029. Seterusnya, projek pemetaan di negeri-negeri lain akan dilaksanakan secara berperingkat tertakluk kepada kelulusan peruntukan dalam rolling plan RMK yang ke-13.
Hasil daripada pemetaan dan penilaian sumber air bawah tanah tersebut, Kerajaan Negeri Kedah telah menghasilkan pelan strategik sumber air bawah tanah negeri Kedah yang berfungsi sebagai rujukan utama kerajaan negeri dan badan kawal selia air bagi memastikan pembangunan serta pengurusan sumber air bawah tanah dilaksanakan secara strategik dan bestari khususnya dalam mendepani cabaran perubahan iklim global.
Selain itu, program pemantauan air bawah tanah secara berkala dan masa nyata turut dijalankan bagi mengesan perubahan kualiti secara mendadak bagi menentukan kesesuaian penggunaan air bawah tanah. Sehubungan dengan itu, kerajaan juga mengambil inisiatif untuk membangunkan National Ground Water Monitoring System sebagai pemantauan masa nyata yang kini sedang dilaksanakan di Kedah dan bakal diperluas ke negeri-negeri yang lain.
Datoʼ Sri Arthur Joseph Kurup
Yang Berhormat Gerik, terima kasih kerana masih berada dalam Dewan— telah mohon penjelasan kerajaan mengenai tindakan yang dikenakan kepada syarikat yang menjalankan aktiviti perlombongan di Gerik sehingga memberi kesan kepada pencemaran Sungai Perak. Kementerian ini memandang serius insiden perubahan warna air Sungai Perak yang telah dilaporkan pada Oktober 2025 dan berpotensi menjejaskan kualiti air serta keselamatan penduduk setempat.
Sehubungan dengan itu, sebagai langkah segera, Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia ataupun JMG telah mengeluarkan arahan penggantungan sementara operasi perlombongan dan pembangunan lombong selama tiga minggu kepada tiga tapak perlombongan di Daerah Hulu Perak bagi membolehkan penambahbaikan dilaksanakan khususnya berkaitan sistem rawatan efluen lombong serta kawalan hakisan dan sedimen.
Bagi mengenal pasti punca sebenar insiden tersebut, kementerian telah mengaktifkan gerak kerja secara task force pada 26 dan 27 November 2025 yang melibatkan pelbagai agensi teknikal Persekutuan dan negeri termasuk JMG, Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Kimia Malaysia, Jabatan Tenaga Atom, Agensi Nuklear Malaysia, Jabatan Pengairan dan Saliran serta agensi di bawah Kerajaan Negeri Perak.
Task force ini telah menjalankan pemeriksaan tapak, siasatan punca pencemaran, dan pensampelan kualiti air sungai. Pemerhatian awal menunjukkan perubahan warna air yang dipengaruhi oleh kehadiran logam berat atau bahan kimia tertentu melalui aktiviti-aktiviti melibatkan gangguan kepada tanah seperi perlombongan, pembalakan dan juga pertanian.
Susulan daripada siasatan tersebut, Jabatan Alam Sekitar telah mengenakan tindakan perintah berhenti kerja kepada syarikat tersebut bermula pada 3 Disember 2025. Tindakan ini diambil atas pelanggaran syarat-syarat kelulusan laporan EIA, berkuat kuasa sehingga syarat-syarat perintah berhenti kerja dipatuhi sepenuhnya oleh syarikat tersebut.
Perintah berhenti kerja ini telah ditarik balik pada 13 Januari 2026 setelah syarat-syarat tersebut telah dipatuhi sepenuhnya oleh pihak syarikat dan pihak Jabatan Alam Sekitar akan meneruskan pemantauan dan melaksanakan penguatkuasaan terhadap pematuhan Akta 127 dan tindakan tegas akan diambil sekiranya berlaku sebarang ketidakpatuhan.
Dari segi tindakan susulan dan pencegahan jangka panjang pula, kementerian akan memperkukuhkan tadbir urus dan kawal selia aktiviti perlombongan melalui penguatkuasaan peraturan serta pematuhan ketat kepada prosedur operasi standard ataupun SOP perlombongan serta syarat kelulusan laporan EIA dan Skim Pengendalian Melombong ataupun OMS.
Kerajaan juga komited untuk mengambil tindakan tegas sekiranya pelanggaran peraturan alam sekitar dapat dibuktikan di samping meneruskan pendekatan berasaskan sains, libat urus bersama komuniti setempat dan penyampaian maklumat secara terus bagi memastikan perlindungan sumber air serta kesejahteraan penduduk terus terpelihara. Seterusnya, Puan Yang di-Pertua, saya akan...
Tuan Fathul Huzir bin Ayob - Gerik
Yang Berhormat Menteri, sikit Yang Berhormat Menteri ya. Okey, berkenaan dengan isu pencemaran dan perlombongan itulah. Ada dua perkaralah, permintaan daripada kitalah penduduk di kawasan Gerik.
Yang pertamanya adalah kalau boleh pegawai JAS ini, dia jauh, dia duduk di Ipoh. Paling dekat tak silap sayalah ada di Ipoh, kalau tak silap saya. Jadi, nak datang itu dua jam, dua jam setengah baru sampai. Itu satu. Jadi, apabila berlakunya musim hujan, kadang-kadang dia akan lepaskan perlombongan ini, dia akan lepaskan asid dan sebagainya. Jadi, bila kita buat laporan, kadang-kadang itu dua tiga hari lepas itu baru datang.
Jadi, kalau boleh pemantauan berkala itu kita kena mintalah ataupun menempatkan pegawai JAS tiap-tiap minggu datang ke kan. Sebab kita ada banyak sungai di dalam kawasan itu dan semuanya berkait dan sungai ini adalah sumber air, sumber elektrik dan sebagainya, membawa ke negeri Perak seluruhnya kan.
Jadi, dia sangat penting bagi saya. Tambahan pula, kawasan kami ini 80 persen adalah hutan, kawasan Parlimen saya. Jadi, dia merupakan pusat tadahan hujan dan sebagainyalah.
Yang kedua, kita ini bukannya nak menghalang atau nak menolak fasal hasil bumi seperti REE ke, emas ke, bijih timah ke, tak ada masalah. Tapi, mengikut aduan-aduan yang saya terima daripada penduduk-penduduk kawasan situlah, kawasan kampung. Ada banyak sebenarnya orang yang datang pergi buat cari gali kemudian buat panggil explorer-lah, explorer untuk bijih timah, emas dan sebagainya.
Jadi, kita tak tahu dah yang mana satu halal, yang mana satu haram. Minta pemantauan daripada kementerian lah berkenaan perkara ini.
Dato’ Sri Arthur Joseph Kurup
Terima kasih Ahli Yang Berhormat Gerik.
Soalan yang pertama, berkaitan dengan response time yang diberikan oleh Jabatan Alam Sekitar. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, saya telah menetapkan satu KPI sasaran yang baharu sejak masuk ke dalam kementerian ini untuk mengurangkan response time, meningkatkan lagi responsiveness khususnya daripada pihak yang berkuat kuasa untuk mengambil tindakan daripada aduan- aduan, daripada yang berlaku insiden-insiden seperti pencemaran.
KPI ini akan kita laksanakan sebab kita faham bahawa apabila aduan itu dibuat, perlu ada respons yang lebih laju, bukan datang dalam satu dua hari, tidak.
Jadi, maka dengan itu kita akan melihat beberapa perkara. Yang pertama, dengan kemungkinan untuk meningkatkan lagi kapasiti dan juga manpower yang ada di jabatan. Dan yang kedua, memastikan kita mengurangkan response time daripada pihak penguatkuasa supaya dalam masa itu tidak ada ruang lagi untuk syarikat mencari kelompongan untuk meneruskan tindakan yang bersalah itu.
Yang kedua pula berkaitan dengan eksplorasi. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, bagi kementerian kita memandang serius sekiranya ada isu pencerobohan ataupun perlombongan haram kerana yang pertama ia mengakibatkan kerugian hasil mineral negara. Dan juga apabila aktiviti perlombongan dijalankan secara haram, dia tidak ada EIA dan dia tidak mengikuti SOP, maka dia boleh juga menjejaskan kelestarian alam sekitar dan juga berbahaya kepada operator-operator yang ada di sana.
Maka, Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), kita bekerjasama secara rentas kementerian dalam pelbagai agensi untuk melaksanakan operasi bersepadu dengan PDRM, dengan pejabat tanah, jabatan perhutanan untuk memperhebatkan lagi operasi penguatkuasaan.
Dan sekiranya ada kes-kes yang tertentu, mohon supaya Ahli Yang Berhormat boleh sampaikan terus kepada pihak kementerian.
Tuan Fathul Huzir bin Ayob - Gerik
Yang Berhormat, kalau boleh mesyuarat majlis tindakan daerah itu wajibkanlah pegawai JAS itu— pegawailah, jangan hantar yang bawah-bawah sangat. Pegawai datang tiap-tiap bulan ke mesyuarat kami di— dia sebab dia ada merangkumi dua Parlimen ya, Parlimen Gerik dan Parlimen Lenggong. Terima kasih.
Dato’ Sri Arthur Joseph Kurup
Terima kasih Ahli Yang Berhormat.
Cadangan itu akan saya bawa untuk pertimbangan. Seterusnya, Yang Berhormat Tenggara telah bertanya— Tenggara tidak ada dalam Dewan. Kalau Puan Yang di- Pertua mengizinkan, saya akan jawab secara bertulis.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Boleh, bagi jawapan bertulis.
Dato’ Sri Arthur Joseph Kurup
Yang Berhormat Jeli ada dalam Dewan?
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Tak ada.
Dato’ Sri Arthur Joseph Kurup
Saya rasa tidak ada. Saya akan jawab secara bertulis. YB Simpang Renggam.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Ada.
Dato’ Sri Arthur Joseph Kurup
Masih setia di dalam Dewan. Terima kasih, Yang Berhormat.
YB Simpang Renggam telah memohon penjelasan mengenai strategi untuk mengangkat Malaysia sebagai peneraju dalam pengurusan biodiversiti. Malaysia merupakan negara megadiverse dan kita komited untuk mengangkat negara kita sebagai peneraju dan rujukan global dalam pengurusan biodiversiti melalui Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan atau DKBK 2022–2030 sejajar dengan komitmen Malaysia di peringkat antarabangsa.
DKBK ini menggariskan keperluan untuk melaksanakan pendekatan senegara ataupun whole-of-nation dan keseluruhan masyarakat iaitu whole-of- society serta mengarus perdana pengurusan biodiversiti dalam pembangunan negara termasuk projek yang berskala besar.
Dato’ Sri Arthur Joseph Kurup
Dalam hubungan ini, Kerajaan Persekutuan telah melaksanakan intervensi berimpak tinggi melalui Program Perlindungan dan Rondaan Biodiversiti ataupun dengan izin, Biodiversity Protection and Patrolling Program ataupun juga dikenali sebagai BP3, serta insentif kewangan bagi konservasi biodiversiti dan hutan iaitu Ecological Fiscal Transfer for Biodiversity Conservation, juga dikenali sebagai EFT.
Dalam aspek tadbir urus, Majlis Biodiversiti Negara terus diperkukuhkan sebagai platform utama bagi Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri membincangkan hala tuju dan strategi biodiversiti di peringkat kebangsaan. Selain itu, Malaysia merealisasikan penubuhan Pusat Biodiversiti Malaysia sebagai pusat kecemerlangan bagi meningkatkan pengurusan biodiversiti negara. Langkah ini akan mengukuhkan lagi kepimpinan negara yang sebelum ini telah pun diiktiraf di peringkat global sebagai peneraju dalam pengurusan data biodiversiti melalui Malaysia Biodiversiti Information System ataupun MyBIS.
Seterusnya, soalan daripada Yang Berhormat Padang Besar, ada hadir?
Terima kasih Yang Berhormat. Telah memohon kerajaan untuk menyatakan pendirian terhadap cadangan untuk mewartakan hutan simpan kekal sebagai aset wakaf hijau negara. Selaras dengan Perkara 74(2), Perlembagaan Persekutuan, urusan tanah dan hutan adalah di bawah bidang kuasa negeri. Manakala, kuasa eksekutif Kerajaan Persekutuan terhad kepada latihan, kajian dan nasihat teknikal melalui Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia ataupun JPSM. Pewartaan hutan simpan kekal sebagai aset wakaf hijau negara perlu mendapat kelulusan Dewan Undangan Negeri bagi negeri berkaitan.
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, pada masa ini tiada warta khusus sebagai aset wakaf bagi hutan simpan kekal tertentu di bawah Akta Perhutanan Negara 1984. Walau bagaimanapun, pewartaan hutan simpan kekal terbahagi kepada dua iaitu hutan pengeluaran dan hutan perlindungan di bawah seksyen 10(1), Akta Perhutanan Negara 1984. Hutan pengeluaran di warta bagi pengeluaran hasil hutan dan kayu kayan secara terkawal serta lestari untuk tujuan ekonomi. Manakala, hutan perlindungan di warta khusus bagi pemuliharaan alam sekitar.
Sehingga kini, seluas 1.977 juta hektar telah di warta sebagai hutan perlindungan. Kawasan ini berfungsi sebagai hutan perlindungan tanah, kawalan banjir, tadahan air, perlindungan hidupan liar, hutan dara, hutan lipur, hutan pelajaran serta hutan penyelidikan. Di samping itu juga, Kerajaan Persekutuan turut menyediakan sokongan insentif EFT kepada kerajaan negeri yang melindungi dan menambah kawasan pelindungan dan hutan simpan kekal yang baru. Justeru, kerajaan negeri di saran untuk memanfaatkan insentif ini secara optimum demi memperkukuh pengurusan hutan dan melaksanakan konservasi biodiversiti secara berkesan. Yang Berhormat Gerik.
Tuan Rushdan bin Rusmi - Padang Besar
Yang Berhormat Menteri, saya setuju dengan jawapan Yang Berhormat Menteri tadi berkenaan dengan akta yang
sedia ada. Cuma, perlu pada pindaan Akta Perhutanan Negara 1984 - Akta 313
berkenaan penambahan untuk wakaf ini. Sebab apa, kita takut ke depan kita tak tahu, kemungkinan benda itu boleh di warta keluar pula, yang sebagaimana yang pernah berlaku.
Maksud, di warta keluar untuk tujuan pembangunan, sedangkan tidak diganti dengan kawasan baharu. Jadi, kita minta wakaf itu melibatkan negeri. Dan daripada jawapan Yang Berhormat Menteri tadi menunjukkan negeri ada potensi untuk — kira memanjangkan isu inilah. Itu saja. Terima kasih.
Dato’ Sri Arthur Joseph Kurup
Terima kasih Ahli Yang Berhormat atas cadangan yang membina itu. Seterusnya, Yang Berhormat Gerik masih setia dalam Dewan, telah bertanya mengenai tindakan kerajaan dalam memperluaskan program penanaman semula hutan dan bagaimanakah pemantauan dilakukan terhadap pengusaha balak bagi memastikan penanaman semula hutan dilaksanakan mengikut jadual.
Kerajaan komited dalam melaksanakan pengurusan hutan secara berkekalan ataupun PHSB untuk memastikan negara terus menikmati faedah yang diperolehi daripada sumber hutan secara berterusan. Perkara ini adalah selaras dengan Dasar Perhutanan Malaysia yang mana kerajaan akan terus memelihara, memulih dan mengurus kawasan hutan simpan kekal berdasarkan prinsip-prinsip PHSB.
Catuan tebangan tahunan ataupun CTT dilaksanakan bagi mengawal pembukaan hutan untuk tujuan pengusaha hasilan hutan, selaras dengan keupayaan pemulihan semula jadi kawasan yang di usaha hasil. CTT diputuskan dalam Majlis Tanah Negara bagi setiap tempoh Rancangan Malaysia lima tahun.
Sehubungan dengan itu, dalam usaha mengawal dan mengurangkan impak ke atas alam sekitar akibat aktiviti pembalakan atau pengusaha hasilan hutan di Semenanjung Malaysia, NRES melalui JPSM telah menggubal dan melaksanakan langkah-langkah mitigasi yang merangkumi spesifikasi, peraturan dan panduan berkaitan pengusaha hasilan hutan.
Kesemua spesifikasi peraturan dan panduan ini perlu dipatuhi oleh semua pihak yang terlibat dalam aktiviti pengusaha hasilan hutan. Iaitu yang pertama, pelaksanaan pembalakan kurang impak ataupun reduced impact logging, yang mengandungi panduan pengusaha hasilan hutan yang bermatlamat untuk mengurangkan kerosakan terhadap dirian tinggal, tanah dan kualiti air agar keupayaan pengeluaran hutan serta fungsi ekologinya dapat dikekalkan. Ia juga mengambil kira aspek keselamatan dan kesihatan pekerja dalam operasi pengusaha hasilan hutan.
Yang kedua, JPSM melalui jabatan perhutanan negeri telah menetapkan syarat penanaman anak pokok dalam kawasan pengusaha hasilan yang diluluskan di bawah sistem pengurusan memilih iaitu selective management system yang hendaklah dilaksanakan sebagaimana penetapan dalam syarat Garis Panduan Jalan Hutan 2024.
Datuk Wan Saifulruddin bin Wan Jan - Tasek Gelugor
Yang Berhormat Menteri, boleh saya mencelah sedikit?
Dato’ Sri Arthur Joseph Kurup
Silakan.
Datuk Wan Saifulruddin bin Wan Jan - Tasek Gelugor
Saya ucap terima kasih Yang di-Pertua, atas segala ulasan yang diberi tadi, mengenai penjagaan alam sekitar, pencemaran dan sebagainya. Cuma, saya nak minta sedikit perhatian daripada kementerian mengenai pencemaran yang banyak kali disebut oleh kami di kawasan Kepala Batas, Tasek Gelugor dan sekitarnya, yang ada masalah pencemaran sungai.
Yang terkesan akibat daripada ladang-ladang babi di Kampung Selamat. Ini saya dah timbulkan banyak kali kepada pelbagai kementerian. Dan hari ini saya nak minta supaya isu pencemaran sungai dan pencemaran udara yang berlaku akibat daripada ladang di Kampung Selamat ini diberi perhatian yang serius oleh kementerian Yang Berhormat.
Dato’ Sri Arthur Joseph Kurup
Terima kasih Ahli Yang Berhormat. Terima kasih. Sebenarnya, isu ini juga ada dibangkitkan dalam perbahasan oleh Yang Berhormat Pasir Mas dan Yang Berhormat Hulu Selangor dan terima kasihlah kerana Yang Berhormat juga telah membangkitkan isu yang penting ini.
Sebenarnya, isu ini Puan Yang di-Pertua, dia lari daripada isu yang saya sedang menjawab sekarang tetapi secara ringkasnya, kementerian NRES melalui Jabatan Alam Sekitar hanya mengeluarkan Environmental Impact Assessment (EIA).
EIA itu bukan bermaksud projek itu diluluskan. Kelulusan projek itu adalah daripada pihak Jabatan Veterinar dan juga pihak berkuasa tempatan. Maka, kita serah kepada pihak yang ada kuasa untuk meluluskan projek-projek tersebut. Jadi, saya harap bahawa— jangan anggap bahawa sekiranya ada EIA, EIA itu dia bukan bermaksud kelulusan projek. Saya kembali sekali lagi kepada isu yang dibangkit oleh Yang Berhormat Gerik.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Sila gulung, masa sudah tamat.
Dato’ Sri Arthur Joseph Kurup
Biasanya saya akan minta masa tambahan tetapi memandangkan akan masuk ke...
Tuan Fathul Huzir bin Ayob - Gerik
Yang di-Pertua, Kalau boleh sikit lagi, nak habis dah tu, bagilah peluang.
Dato’ Sri Arthur Joseph Kurup
Memandangkan kita masuk ke masa makan tengah hari, saya tidak berani untuk makan masa makan tengah hari daripada...
Tuan Fathul Huzir bin Ayob - Gerik
Saya ingat tak habis lima minit.
Dato’ Sri Arthur Joseph Kurup
Maka, hari ini saya akan ikut...
Tuan Fathul Huzir bin Ayob - Gerik
Sebab saya ada sikit soalan nak tanya tu.
Dato’ Sri Arthur Joseph Kurup
...Arahan daripada Puan Yang di-Pertua untuk menggulung. Sebenarnya masih ada beberapa soalan dan Ahli Yang Berhormat yang telah...
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Boleh bagi jawapan bertulis.
Dato’ Sri Arthur Joseph Kurup
...Membangkitkan isu yang penting. Maka, sekali lagi saya bagi wakil kementerian, ucapkan terima kasih kepada Ahli Yang Berhormat yang telah membangkitkan isu di bawah Kementerian NRES. Dan saya memberi komitmen bahawa segala pandangan dan cadangan akan diambil secara serius. Dan soalan yang tidak sempat untuk dijawab, kita akan jawab secara bertulis.
Sekian dan terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Terima kasih Yang Berhormat Menteri. Ahli-ahli Yang Berhormat, saya menangguhkan Mesyuarat sekarang dan akan sambung semula jam 2.30 petang.
[Mesyuarat ditempohkan pada pukul 1.00 tengah hari]
[Mesyuarat disambung semula pada pukul 2.30 petang]
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
[Tuan Yang di-Pertua **mempengerusikan Mesyuarat****]
Tuan Yang di-Pertua
Baik. Assalamualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh. Sebelum kita— selamat petang. Salam sejahtera.
Sebelum kita teruskan dengan memanggil Menteri Pertahanan, saya ingin membuat sedikit ataupun satu pengumuman, bahawa pada hari Selasa minggu hadapan iaitu 10 Februari 2026, saya dimaklumkan bahawa bagi Sesi Pertanyaan Menteri akan dijawab oleh Yang Berhormat Menteri-menteri, memandangkan Yang Berhormat Perdana Menteri akan berada di Istana Negara pada pagi tersebut. Untuk itu, saya jemput Menteri Pertahanan, 30 minit dari sekarang, silakan.
Timbalan Menteri Pertahanan - Tuan Haji Adly bin Zahari
Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh.
Salam sejahtera. Salam Malaysia MADANI.
Tan Sri Yang di-Pertua, terlebih dahulu saya ingin mengalu-alukan kehadiran rombongan kepimpinan masyarakat dari FELDA Raja Alias 1, Jempol, Negeri Sembilan.
[Tepuk] MP Jempol ada di sini. Suruh waris dia datang sini, ya.
[Ketawa] Tan Sri Yang di-Pertua, terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Tuan Yang di-Pertua di atas ruang dan kesempatan untuk Kementerian Pertahanan menjawab segala isu yang dibangkitkan sepanjang perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja pada kali ini.
Seterusnya, saya merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada kesemua 14 orang Ahli Yang Berhormat yang telah menyentuh perkara-perkara di bawah Kementerian Pertahanan semasa sesi perbahasan sepanjang lebih dua minggu lepas dan Kementerian Pertahanan meneliti dengan serius segala perbahasan yang dibangkitkan oleh Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian kerana semuanya berpaksikan kepada matlamat yang sama iaitu demi keselamatan dan pertahanan negara terus terjamin.
Tan Sri Yang di-Pertua, Kementerian Pertahanan mengambil maklum tentang perbahasan mengenai isu rasuah, salah guna kuasa dan kegelinciran integriti dalam kalangan pegawai tertinggi Angkatan Tentera Malaysia yang telah dibangkitkan oleh Yang Berhormat Subang, Yang Berhormat Kota Melaka, Yang Berhormat Permatang Pauh, Yang Berhormat Pokok Sena, Yang Berhormat Jerlun, Yang Berhormat Pasir Gudang, Yang Berhormat Pasir Mas dan juga Yang Berhormat Ketereh. Saya sedar bahawa perkara ini bukan sahaja menjadi perhatian di Dewan yang mulia ini, tetapi turut menjadi bahan perbualan besar dalam kalangan masyarakat di luar sana.
ATM adalah satu institusi yang sangat kritikal untuk kedaulatan negara.
Keamanan dan kesejahteraan yang kita nikmati pada hari ini adalah kerana usaha ratusan ribu anggota ATM yang setia berkhidmat mempertahankan kedaulatan dan keamanan negara kita. Atas sebab itulah, Yang Berhormat Menteri Pertahanan telah pun menyampaikan penerangan Menteri pada 28 Januari yang lepas untuk memberikan penerangan yang jelas, sekali gus membersihkan nama Angkatan Tentera Malaysia.
Sekali lagi ingin saya tegaskan, rasuah, salah guna kuasa dan kegelinciran integriti adalah perbuatan yang hina dan keji dan semua itu tiada tempatnya dalam Kementerian Pertahanan dan juga di Angkatan Tentera Malaysia. Jadi, kementerian berikhtiar dan bertekad untuk membanteras segala unsur kegelinciran integriti serta menambah baik tadbir urus kementerian bagi menghapuskan segala ruang penyelewengan.
Sehubungan dengan itu, saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan ke atas Ahli-ahli Yang Berhormat yang dalam ucapan perbahasan itu menzahirkan sokongan kepada usaha kita di Kementerian Pertahanan untuk membersihkan Kementerian Pertahanan dan Angkatan Tentera Malaysia.
Tan Sri Yang di-Pertua, Yang Berhormat Pasir Gudang telah membangkitkan persoalan berkenaan kewujudan syarikat-syarikat kartel dalam tender perolehan yang melibatkan pegawai kanan tentera. Di sini, kementerian ingin jelaskan bahawa penentuan kewujudan kartel atau pakatan sulit dalam mana-mana tender perolehan adalah di dalam bidang kuasa Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC), selaras dengan Akta Persaingan 2010 [Akta 712].
Namun begitu, sekiranya terdapat aduan, makluman atau sebarang petunjuk mengenai kemungkinan amalan kartel atau pajak atau pakatan sulit dalam proses perolehan, Kementerian Pertahanan tidak akan berselindung atau berkompromi dengan mana-mana pihak. Kementerian akan terus merujuk perkara tersebut kepada MyCC untuk siasatan lanjut, khususnya bagi menilai sebarang pelanggaran di bawah seksyen 4, Akta Persaingan 2010.
Pada masa yang sama, sebarang isu berkaitan tatakelola, tatatertib atau kesalahan jenayah yang melibatkan pegawai awam akan disiasat oleh agensi penguatkuasaan dan pihak berkuasa yang berkenaan mengikut peruntukan undang- undang yang sedia ada.
Tan Sri Yang di-Pertua, Yang Berhormat Pasir Gudang telah membangkitkan persoalan, sama ada lima orang pegawai risik MDIO yang pernah ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum ini terlibat dalam operasi penyeludupan.
Sebenarnya, daripada lima orang pegawai ATM yang telah ditahan oleh SPRM pada Ogos 2025, hanya dua orang merupakan pegawai perisikan daripada MDIO, manakala selebihnya adalah pegawai kanan ATM daripada pasukan lain.
Saya ucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Ketereh yang telah memperbetulkan kekeliruan ini kepada Yang Berhormat Pasir Gudang tempoh hari.
Terima kasih Ketereh. Cuma Ketereh ada pengalaman itu.
Bagi menjawab soalan Yang Berhormat Pasir Gudang, Kementerian Pertahanan ingin menjelaskan bahawa kedua-dua orang pegawai perisikan MDIO tersebut hanya terlibat dalam operasi perisikan khas di kawasan selatan Johor. Ia nya bagi tujuan mendapatkan maklumat berkaitan kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) untuk disalurkan kepada pasukan atau unit yang beroperasi.
Yang Berhormat Ketereh pula telah menyentuh mengenai langkah damage control untuk mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap badan perisikan ATM ini.
Dalam konteks pengurusan risiko dan damage control, dengan izin, Kementerian Pertahanan telah mengambil langkah-langkah penambahbaikan secara menyeluruh terhadap prosedur operasi serta kawalan sistem maklumat sedia ada.
Ini termasuklah pelaksanaan tapisan keselamatan yang lebih ketat terhadap pegawai dan anggota yang terlibat dalam operasi sensitif dan kementerian ini menegaskan bahawa tiada sebarang kompromi akan diberikan terhadap sebarang bentuk salah laku, khususnya yang melibatkan pegawai dan anggota perisikan ATM kerana integriti dan keselamatan negara adalah keutamaan tertinggi negara.
Timbalan Menteri Pertahanan - Tuan Haji Adly bin Zahari
Seiring dengan itu, bagi memulihkan dan memperkukuhkan keyakinan awam, Kementerian Pertahanan akan terus melaksanakan pendekatan komunikasi strategik serta tindakan gerak saraf secara berterusan dan berfokus. Langkah ini mencerminkan komitmen kerajaan untuk memastikan ketelusan, akauntabiliti dan tadbir urus yang baik terus menjadi asas kepada pengurusan keselamatan dan juga pertahanan negara.
Tan Sri Yang di-Pertua, Yang Berhormat Pasir Gudang telah membangkitkan isu kelewatan perolehan kapal tempur pesisir atau Littoral Combat Ship (LCS).
Kementerian menyedari bahawa isu ini bukan sahaja menjadi perhatian Ahli-ahli Yang Berhormat di Dewan ini, malah turut menjadi perbincangan meluas dalam kalangan masyarakat umum. Yang Berhormat Menteri telah pun menjawab secara lisan berkenaan perkara ini pada 28 Januari yang lalu bagi menyalurkan maklumat terkini berkaitan kemajuan projek LCS ini.
Dan suka saya ulang untuk makluman Yang Berhormat, sehingga 25 Disember 2025 kementerian telah dimaklumkan bahawa pihak LUNAS bahawa kemajuan keseluruhan projek LCS telah mencapai 75.75 peratus berbanding kemajuan sebenar 81.57 peratus kemajuan mengikut perancangan.
Walaupun masih terdapat jurang antara kemajuan sebenar dan jadual asal, usaha pemulihan projek terus dilaksanakan secara berfasa dan berfokus.
Sepertimana yang dimaklumkan oleh Menteri Pertahanan pada 28 Januari yang lalu, sepertimana kita dimaklumkan bahawa kapal yang pertama kita akan melalui proses ujian di laut pada bulan April pada tahun ini dan kita tak nafikan bahawa pihak LUNAS daripada maklum balas mereka kepada pasukan projek, jadual pentauliahan kapal LCS 1 telah dipinda daripada Disember kepada Disember 2026 dan jadual pentauliahan LCS 2 dipinda kepada Ogos 2027.
Antara faktor-faktor yang...
Dato’ Sri Ikmal Hisham bin Abdul Aziz - Tanah Merah
Yang Berhormat Menteri. Tanah Merah.
Tuan Haji Adly bin Zahari
Silakan.
Dato’ Sri Ikmal Hisham bin Abdul Aziz - Tanah Merah
Okey, terima kasih.
Isu LCS. saya nak bangkitkan isu LCS. Saya, kita seperti yang dimaklum tadi sebenarnya LUNAS ni saya difahamkan mereka telah pun buat ujian seagoing, seagoing sebab Yang Berhormat MENHAN ada maklum bahawasanya yang sea trial akan bermula bulan April. Sea trial sebenar April 2026. Yang sekarang ni mereka buat seagoing sahaja. Itu pun dah delay. Apa yang saya nak minta, saya nak tahu daripada ni, apakah apabila sea trial nanti, adakah wakil daripada Naval Group dari Perancis akan memantau perlaksanaan sewaktu LUNAS mengadakan sea trial dan juga sewaktu LUNAS menyiapkan kapal ini. Sebab apa? Kita bila yang dia buat yang seagoing itu, kita nampak kapal tu dah berkarat seolah-olah nampak kapal tu keadaan yang teruk lah, ya. Jadi, saya nak tahu contohnya macam dah berlaku keusangan.
Jadi, saya tengoklah naratif kebimbangan saya ialah ia tidak direka bentuknya, tidak seperti yang sepatut sewajarnya. Jadi saya tanya, siapakah yang akan bertanggungjawab terhadap kos pembinaan semula paip dan kabel? Itu juga termasuk projek kalau berlaku kos overrun. Terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua
Baik, sebelum Menteri menjawab, kalau sekiranya perkara baharu boleh jawab secara bertulis. Kalau ada information, Menteri boleh jawab terus.
Tuan Sanisvara Nethaji Rayer a/l Rajaji - Jelutong
Menteri. Speaker, sedikit sahaja saya tak mahu ambil masa lama. Cumanya saya, Tan Sri Speaker, saya menghormati Yang Berhormat Ketereh tetapi pada masa yang sama, saya lihat telah tular dalam media sosial kenyataan yang dibuat oleh Yang Berhormat Ketereh ada segelintir pegawai kanan tentera yang mencium tangan Menteri itu, saya rasa komen itu tak patutlah. Sepatutnya tidak dinyatakan.
Kita menghormati Yang Berhormat Ketereh tetapi pada masa yang sama, perkara itu tidak perlu diuar-uarkan atau dinyatakan begitu di Parlimen. Ini adalah permintaan saya dan jadi saya tak mahu perkara itu dibesarkan cuma kerana mereka berkhidmat seperti saya dengar tadi. Ulasan Timbalan Menteri tentang pengorbanan tentera kita. Jadi, saya rasa tidak adil untuk kita mengeluarkan kenyataan itu untuk menyelekehkan pengorbanan anggota tentera Malaysia. Terima kasih, Tan Sri.
Dato' Khlir bin Mohd Nor - Ketereh
[Bangun] Tan Sri Speaker.
Tuan Yang di-Pertua
Nanti kejap, nanti kejap.
Dato' Khlir bin Mohd Nor - Ketereh
Dak, saya nak jawab Jelutong.
Tuan Yang di-Pertua
Nanti, nanti, saya faham, saya faham. Saya panggil Menteri. Menteri, ini floor Menteri. Sekarang ini Menteri nak bagi jawab ke tidak?
Tuan Haji Adly bin Zahari
Bagi saya jawab.
Tuan Yang di-Pertua
Bagi Menteri jawab dahulu.
Tuan Haji Adly bin Zahari
Ketereh duduk, Ketereh duduk dahulu, nanti saya jawab dahulu bagi tenang ke apa kan.
Dato’ Sri Ikmal Hisham bin Abdul Aziz - Tanah Merah
Speaker...
Tuan Yang di-Pertua
Sabar, sabar. Ketereh, sabar. Bukan tak bagi.
Tuan Haji Adly bin Zahari
Saya tarik balik, balik...
Dato’ Sri Ikmal Hisham bin Abdul Aziz - Tanah Merah
Speaker yang fasal yang dikatakan LCS itu saya bangkit itu memang ada dalam...
Tuan Yang di-Pertua
Okey, sebab itu saya kata kalau baharu, jawab bertulis. Kalau ada, sila jawab.
Dato’ Sri Ikmal Hisham bin Abdul Aziz - Tanah Merah
Faham, faham, ini bukan perkara baharu.
Tuan Yang di-Pertua
Okey, terima kasih. Silakan.
Tuan Haji Adly bin Zahari
Okey, terima kasih Tan Sri Yang di-Pertua. Apa yang dibangkitkan oleh Tanah Merah tadi berhubung dengan ujian-ujian yang kita laksanakan. Sepertimana yang sebelum ini Yang Berhormat MENHAN pun ada maklumkan. Antara punca kelewatan kita adalah tentang pihak LUNAS harus memenuhi spesifikasi dari segi kalau kita tengok kita ada re-work dari segi cabling kita, piping dan seumpamanya. Dan suka saya menyebut tentang kita harus ingat walaupun betul di antara MINDEF dan juga LUNAS, kita ada schedule kita, mengikut kontrak kita iaitu Ogos.
Tetapi dalam masa yang sama, kita di pihak Kementerian Pertahanan, kita tidak bertolak ansur dari segi spesifikasi kita kerana kita harus ingat LCS ini akan kita gunakan untuk tempoh 30 tahun akan datang. Jadi kalau kita, walaupun kita tahu kita ada tempoh masa tapi bagi kita, keperluan keselamatan bagi kapal itu sama ada operasinya ataupun yang paling adalah kepada anggota-anggota kita, keselamatan nak guna untuk tempoh 30 tahun.
Jadi, kita takkan ada tolak ansur dari segi spesifikasinya ataupun kalau kita lihat segala ujian-ujian itu, akhirnya dia akan pergi balik kepada sama ada dia memenuhi standard yang telah kita tetapkan. Sebab itu kalau lihat macam tadi yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Tanah Merah, saya yakin bahawa jaminan yang kita berikan bahawa bila kapal itu kita serahkan kepada angkatan Tentera Laut kita sudah barang pasti dia sewajarnya memenuhi standard ataupun spesifikasi yang telah kita tetapkan. Itu antara perkara-perkara kita berikan keutamaan.
Dato’ Sri Ikmal Hisham bin Abdul Aziz - Tanah Merah
[Bangun]
Tuan Haji Adly bin Zahari
Ya.
Dato’ Sri Ikmal Hisham bin Abdul Aziz - Tanah Merah
Okey, terima kasih.
Terima kasih penjelasan. Cuma— sebab ialah saya tahu MINDEF sekarang consider macam consumer, pengguna. Yang buat sekarang ini LUNAS. Isu LCS ini dah begitu lama dah sampai orang kata kita dah boring dengar tapi bagaimanapun ia melibatkan duit rakyat.
Ini, banyak ini. Bayangkan daripada asalnya, daripada RM9 bilion, kita bagi RM2 bilion, jadi RM11 bilion. Daripada asalnya enam kapal, jadi lima kapal. Malah, kos untuk LCS kita ini merupakan yang paling mahal dalam dunia ini, paling mahal.
Bukan sahaja paling mahal, paling lambat nak siap, itu satu.
Jadi, kebimbangan kita contohnya macam kita, macam ini kita ambil serius.
Baguslah tapi setakat ini semua delay, delay terus delay. Kemudian, saya tak nampak katakan, saya tak nampak kata tadi Ogos nak siap. Saya tak nampak akan siap.
Katakan tak siap juga, adakah kita, saya rasa adakah kementerian akan mengenakan LAD sebab LAD itu yang dulu itu pun kita dah waived. Apakah kali ini kita akan waive lagi kalau mereka masih tak memenuhi time table-nya? Terima kasih.
Tuan Haji Adly bin Zahari
Okey, terima kasih kepada Yang Berhormat Tanah Merah. Saya rasa Yang Berhormat Tanah Merah memberikan satu persepsi salah tentang progress yang telah kita lakukan pada LCS. Kita boleh lihat dalam tempoh tiga tahun ini bagaimana kita menguruskan LCS itu dari segi pembinaannya, dari segi ujian di pelabuhannya termasuk kita bawa kepada ujian di laut pada bulan April.
Sebab itu bila kita lihat progress LCS itu, bukan pada LCS yang pertama sahaja dan kalau kita lihat pada minggu hadapan, akan ada penamaan LCS yang ketiga. Jadi, proses ini kita akan ikut mengikut jadual yang telah kita tetapkan tapi dalam masa yang sama, macam saya sebutkan tadi, kita tak akan bertolak ansur dari segi spesifikasi bagi tujuan pengoperasian dan juga keselamatan anggota kita bila kapal itu kita serahkan kepada Tentera Laut kita.
Dato’ Sri Ikmal Hisham bin Abdul Aziz - Tanah Merah
Okey, ini yang terakhir fasal LCS. Timbalan Menteri, ini yang terakhir. Saya faham, kita sama sebab kita ini...
Tuan Haji Adly bin Zahari
Ringkaskan sahaja.
Dato’ Sri Ikmal Hisham bin Abdul Aziz - Tanah Merah
Sama wavelength. kita nak lihat kapal kita siap, boleh digunakan untuk Tentera Laut untuk menjaga perairan negara kita.
Cuma, saya mohonlah betul-betul serius, jangan tertipu dengan LUNAS, jangan tertarik dengan apa yang penting ini mereka dah failed dah, banyak kali dah failed. So, tolonglah betul-betul. Ini melibatkan duit rakyat yang begitu besar. Kita tak mahu benda ini berterusan. Terima kasih.
Tuan Haji Adly bin Zahari
Terima kasih Yang Berhormat Tanah Merah. Tan Sri Yang di-Pertua, Yang Berhormat Ketereh dan juga Yang Berhormat Lumut membangkitkan tentang terdapat campur tangan dan ketirisan dalam tender perolehan LCS ini. Suka saya ingin menyebut bahawa di sini Kementerian Pertahanan ingin menegaskan bahawa tiada sebarang campur tangan yang boleh dimanipulasi pelaksanaan ataupun pelaporan projek ketika ini.
Kita tahu bahawa PAC telah memberikan kita banyak guidance dan juga laporan-laporan. Kalau kita lihat bahawa sebelum kita meneruskan pelaksanaan LCS ini, kita telah mengambil kira semua pandangan itu dan kita telah menubuhkan jawatankuasa-jawatankuasa itu. Sebab itu kalau kita lihat di projek LCS ini, memang kerjasama antara Kementerian Pertahanan dan juga Kementerian Kewangan itu bagi memastikan bahawa bukan sahaja dari segi teknikal, tapi dari segi kewangan itu juga diambil kira dalam aspek-aspek pelaksanaan LCS itu sendiri.
Komander Nordin bin Ahmad Ismail TLDM (B) - Lumut
YB Menteri, soalan.
Tuan Haji Adly bin Zahari
Ya.
Komander Nordin bin Ahmad Ismail TLDM (B) - Lumut
Lumut.
Tuan Haji Adly bin Zahari
Sila Lumut.
Komander Nordin bin Ahmad Ismail TLDM (B) - Lumut
Dalam perbahasan saya, saya bangkitkan mengenai kes LCS itu daripada laporan PAC 2022 zaman PH memerintah dulu. Laporan PAC mengatakan syornya adalah pendakwaan segera perlu diambil. Hingga kini, Menteri yang ada sekarang kata masih siasatan, masih disiasat. Apa ceritanya?
Tuan Haji Adly bin Zahari
Macam saya sebut di awal ucapan saya tadi, apa sahaja perkara yang melibatkan salah laku, memang kita tahu bahawa sebahagian tanggungjawab itu adalah di bawah tanggungjawab Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan kita tahu dalam kes LCS ini, bukan tak ada pendakwaan. Ada pendakwaan, tetapi siasatan diteruskan. Kalau kita punya maklumat ataupun aduan itu, boleh kita serahkan kepada pihak berkuasa.
Kita di peringkat Kementerian Pertahanan, di samping kita melihat kepada isu-isu yang sedia ada, tapi tanggungjawab asas kita adalah untuk memastikan bahawa kejayaan kita dalam melaksanakan projek LCS ini. Itu antara keutamaan- keutamaan kita. Di samping saya tak nafikan apa yang dibangkitkan oleh Lumut tadi, perkara itu memang kalau di pihak Kementerian Pertahanan, kita sentiasa bekerjasama dengan pihak SPRM dalam segala bentuk siasatan dan seumpamanya.
Tan Sri Yang di-Pertua, Yang Berhormat Tanah Merah telah membangkit persoalan berkaitan mekanisme semak dan imbang bagi projek perolehan yang bernilai besar. Kementerian Pertahanan ingin menegaskan bahawa keseluruhan proses perolehan kerajaan dilaksanakan berlandaskan prinsip ketelusan integriti, akauntabiliti serta nilai untuk wang. Prinsip-prinsip ini disokong oleh mekanisme semak dan imbang yang menyeluruh, berlapis dan berstruktur bagi menjamin kepentingan awam serta keutuhan pengurusan kewangan negara.
Antaranya, yang pertama, mekanisme semak dan imbang dizahirkan melalui pemisahan kuasa dan tanggungjawab pada setiap peringkat proses perolehan di Kementerian Pertahanan melalui perancangan perolehan, permohonan perolehan, permohonan periklanan dan pelawaan tender, pelaksanaan proses perolehan pula dijalankan oleh pusat tanggungjawab dan perolehan mengikut nilai-nilai, sama ada RM500,000 ke bawah mahupun bagi perolehan bekalan dan juga perkhidmatan bernilai RM500,000 ke atas serta bahagian pembangunan bagi perolehan kerja melebihi had nilai tersebut.
Penilaian tender dilaksanakan secara kolektif oleh Jawatankuasa Teknikal yang dianggotai oleh pegawai teknikal selaku pengguna, wakil bahagian perolehan dan wakil bahagian kewangan. Keputusan akhir dikemukakan untuk kelulusan pihak berkuasa melulus iaitu Lembaga Perolehan yang diwakilkan oleh Jabatan Kerja Raya dan Kementerian Kewangan mengikut kaedah perolehan dan had nilai kuasa yang ditetapkan.
Tan Sri Yang di-Pertua, Yang Berhormat Lumut juga membangkitkan soalan berkaitan dengan status penggantian helikopter Super Lynx Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) serta perolehan helikopter anti-submarine warfare (ASW) di bawah peruntukan Rancangan Malaysia Yang Ke-13, iaitu RMK13.
Untuk makluman, TLDM kekal komited untuk meneruskan perolehan helikopter ini di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 dan keperluan perolehan ini adalah selaras dengan Perancangan Strategik Penjajaran Pelan Transformasi TLDM 15to5 yang menetapkan keperluan empat buah helikopter ASW bagi menyokong dan memperkukuh keupayaan operasi Tentera Laut Diraja Malaysia, khususnya dalam domain peperangan bawah permukaan.
Kementerian Pertahanan ini menegaskan bahawa perolehan ini bukan sekadar melibatkan penambahan aset tetapi merupakan keperluan kritikal bagi memastikan keupayaan pertahanan maritim negara kekal relevan, berdaya tahan dan seiring dengan cabaran keselamatan serantau yang semakin kompleks.
Sehubungan itu, Kementerian Pertahanan dan TLDM amat berharap agar keperluan perolehan helikopter ASW ini dapat dipertimbangkan, diluluskan dan direalisasikan oleh Kerajaan Persekutuan di bawah RMKe-13, demi menjamin kesiapsiagaan operasi TLDM serta melindungi kedaulatan dan kepentingan strategik negara.
Tan Sri Yang di-Pertua, Yang Berhormat Saratok telah membangkitkan isu keselamatan di Laut China Selatan, khususnya di perairan Sarawak. Kementerian Pertahanan ingin memaklumkan bahawa peningkatan rondaan serta kehadiran berterusan aset Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dengan sokongan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di perairan Laut China Selatan telah berjaya meningkatkan kesedaran domain maritim atau Maritim Domain Awareness (MDA).
Pada masa yang sama, ia mempertegaskan kedaulatan negara di kawasan yang mempunyai pertindihan tuntutan.
Sehingga kini sebarang gangguan yang dikesan adalah bersifat terkawal dan tidak provokatif namun tetap dipandang serius oleh kementerian ini demi menjaga kepentingan dan juga keselamatan negara. Kehadiran konsisten TLDM dan TUDM juga membolehkan setiap situasi ditangani secara profesional, berhemah serta selaras dengan undang-undang antarabangsa, sekali gus menyelakkan sebarang spekulasi yang tidak diingini.
Dalam konteks ini, TLDM melaksanakan rondaan, pemantauan dan pengawasan secara berterusan, khususnya di kawasan pertindihan yang merangkumi kepentingan strategik serta infrastruktur kritikal negara dan operasi meliputi keseluruhan zon maritim Malaysia, termasuk perairan Sabah dan juga Sarawak bagi memantau secara dekat kehadiran aset negara asing.
Seperti Yang Berhormat sedia maklum, kehadiran kapal pengawal pantai China— China Coast Guard atau CCG di Laut China Selatan telah berlarutan sejak tahun 2013. Sehubungan dengan itu, Angkatan Tentera Malaysia telah ditugaskan untuk melaksanakan operasi maritim secara berterusan 24 jam sehari, tujuh hari seminggu bagi memantau pergerakan kapal pengawal pantai China serta vesel nelayan asing daripada China. Operasi ini turut disokong oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan aset-aset TUDM bagi memastikan Zon Maritim Malaysia kekal selamat dan bebas daripada sebarang ancaman atau risiko pencerobohan.
Tan Sri Yang di-Pertua, pada masa yang sama pendekatan diplomasi pertahanan kekal menjadi keutamaan Kementerian Pertahanan dalam mendepani cabaran Laut China Selatan.
Dato’ Seri Dr. Shahidan bin Kassim - Arau
Sedikit. Yang Berhormat, sedikit.
Tuan Haji Adly bin Zahari
Sedikit sahaja saya habiskan dua lagi ayat.
Sebarang nota bantahan terhadap apa-apa insiden yang boleh menggugat kepentingan negara akan disalurkan melalui Kementerian Luar Negeri untuk tindakan bantahan diplomatik secara rasmi dan ini selaras dengan pendirian Malaysia yang konsisten menolak penggunaan kekerasan serta berkecuali dan tidak berpihak demi mengekalkan keamanan dan kestabilan rantau kita, terutamanya di Laut China Selatan. Silakan Yang Berhormat Arau.
Dato’ Seri Dr. Shahidan bin Kassim - Arau
Yang Berhormat Speaker, terima kasih di atas jawapan yang manis. Tapi peristiwa yang berlaku di sana tak manis Yang Berhormat. Kapal pengawal China yang besarnya dua kali kapal TLDM berada di sana dan dia terus berada di sana.
Jadi, saya ingin bertanya kepada kerajaan, apakah kehadiran mereka ini merupakan tuntutan bertindih atau pencerobohan? Kalau bertindih, kita boleh gunakan nota diplomatik. Tapi pencerobohan, kita ambil tindakan cara pencerobohan. Dalam arena antarabangsa, kalau pencerobohan berlaku, dia tak boleh menggunakan senjata. Dia boleh menggunakan pancutan air. Mereka ini pernah berkali-kali pergi ke Indonesia dan Indonesia kejar mereka dengan menggunakan pancutan air. Kenapa kita tidak ambil pendekatan demikian kepada pencerobohan? Nombor satu.
Nombor dua, Yang Berhormat sedia maklum laporan telah ditemui bahawa nelayan-nelayan kita daripada Bintulu yang pergi ke sana dihalau balik. Bererti bukan kawasan Malaysia. Jadi, apakah tindakan kerajaan tentang perkara ini?
Oleh kerana ini pencerobohan, apakah kerajaan ingin bertindak dengan lebih tegas, iaitu dengan menggunakan pancutan air supaya mereka tidak berada di sana?
Mereka hadir pada 2013 Yang Berhormat, di zaman moden. Itu nak tuntut apa?
Mereka datang dulu cuma nak beritahu di sana ada sebuah kapal zaman dulu, kapal Cheng Ho tenggelam di situ. Depa nak ambil kapal.
Takkan sampai 12 tahun nak ambil kapal sampai sekarang tak jumpa sebagai contoh. Kita dapat maklumat ni bukan daripada tentera. Kita dapat maklumat daripada seorang penyelam Australia yang maklumkan kehadiran kapal. Barulah tindakan diambil seperti yang berlaku sejak 2013. 2013, saya Menteri yang menjaga MKN masa itu.
Dato’ Seri Dr. Shahidan bin Kassim - Arau
Jadi, saya ingin bertanya, apakah tindakan yang diambil oleh pihak kerajaan?
Iaitu menganggap bahawa mereka ini penceroboh, dengan itu gunakan pancutan air.
Tuan Haji Adly bin Zahari
Terima kasih Yang Berhormat Arau.
Datoʼ Sri Ikmal Hisham bin Abdul Aziz - Tanah Merah
Okey, tambahan daripada Arau ya. Sikit saja. Sebab itu bila kita bagi jawapan, ini saya nampak cantik, macam kata manis, tapi hakikatnya tidak. Betul, saya rasa pencerobohan ini dah berlaku banyak kali dan setiap kali kita hanya boleh mampu hantar nota bantahan sahaja.
Cuma, persoalan saya ialah, ada tak usaha-usaha lain supaya pencerobohan ini jangan berlaku? Sebab, saya tahu kapal kita semua uzur, tak mampu nak kejar, tak mampu nak berlawan. Kita pun tak mahu ada keganasan. Kita lebih kepada diplomasi. Tapi, masalahnya, nota diplomasi kita itu macam tidak diendah. Terima kasih.
Tuan Haji Adly bin Zahari
Terima kasih Yang Berhormat Arau dan juga Yang Berhormat Tanah Merah. Kita tahu bahawa Laut China Selatan bukanlah isu baru bagi kita. Tadi pun Yang Berhormat Arau sebut, dia di MKN itu semenjak 2013 itu.
Tapi, kita tahu bahawa antara cabaran kita adalah bagaimana kita mahu menyelesaikan isu kita di Laut China Selatan. Sebab itu kalau kita lihat sebagai sebuah negara berkecuali dan kalau kita lihat tindakan-tindakan kita, kita masih menganggap bahawa diplomasi kita, terutamanya dengan China, masih berfungsi dengan baik. Sebab itu walaupun kita sebut, tadi disebut oleh Tanah Merah tentang nota bantahan-bantahan kita, tapi sebenarnya kita mempunyai suara juga untuk berbincang dan menyelesaikan masalah-masalah kita.
Sebab itu kalau kita lihat, antara perkara-perkara yang penting yang menjadi penilaian kita dalam menentukan bagaimana diplomasi kita itu masih berfungsi adalah, yang pertama, antaranya, kita harus melihat tentang operasi-operasi ataupun aktiviti-aktiviti ekonomi kita, sama ada aktiviti nelayan kita ataupun aktiviti oil and gas kita yang melibatkan cari gali minyak kita dan begitulah juga dengan aktiviti pelancongan kita. Itu boleh menjadi satu petanda bahawa selagi kita dapat melaksanakan semua aktiviti-aktiviti ekonomi ini dan keselamatan rakyat kita terjamin, jadi kita menggunakan kaedah diplomasi itu. Dan kita tahu bahawa ada setengah-setengah negara memang mempunyai kaedah-kaedah yang tertentu menggunakan kekerasan.
Tapi, dalam masa yang sama, di samping kita melihat diplomasi sebagai satu usaha. Tapi kita harus ingat juga, antara perkara penting kita ke hadapan adalah mengupayakan pertahanan maritim kita. Sebab itu kalau kita lihat di awal itulah tentang LCS. Tadi Arau menyebut tentang kapal kita mungkin kecil. Tapi, insya-Allah, bila siapnya LCS, LCS adalah yang setanding, kalau kita lihat, untuk menjaga perairan kita dan maritim kita.
Datoʼ Seri Dr. Shahidan bin Kassim - Arau
[Bangun]
Tuan Haji Adly bin Zahari
Jadi, dalam masa yang sama― Arau, bagi saya habis ayat saya dulu. Nanti Arau boleh mencelah.
Dalam masa yang sama, bila kita melihat aktiviti ekonomi kita menjadi satu penilaian kita, tapi dalam masa yang sama, membina keupayaan masa depan kita adalah sebahagian daripada usaha kita untuk pastikan bahawa sama ada kawasan itu bertindih ataupun kawasan itu di bawah kedaulatan kita, maka tindakan-tindakan boleh kita lakukan di atas keupayaan kita.
Ya, Arau, apa tambahan?
Datoʼ Seri Dr. Shahidan bin Kassim - Arau
Ya, terima kasih. Saya minta satu sahaja, Yang Berhormat Speaker. Oleh kerana kita gagal untuk menyembur air sebab mungkin kita takut ataupun kapal kita terlampau daif, saya cadangkan supaya kita bertindak meletakkan 1:2. Makna, kalau dia bubuh satu kapal, kita bubuh dua kapal.
Sekarang ini kita bubuh satu kapal TLDM― dan APM bukan kapal. Ini kapal kecil. Kapal kecil yang dia akan terumbang-ambing, tapi kapal China duduk steady sahaja. Jadi, polisi TLDM dulu ialah 1:1. Sekarang saya cadangkan supaya 1:2. Kita bubuh dua biji kapal. Ataupun kita bubuh kapal yang sudah tidak digunakan lagi letak di sana, seperti Kapal Bunga Raya dan sebagainya, supaya― Kita berada di sana dalam keadaan 1:2, saya percaya dari segi diplomatik, dari segi apa sekalipun, kalau mereka melihat kita lebih, kita akan dihormati.
Sekarang ini kita nampak orang kita takut. Kalau kapal lain datang berlabuh lagi, apa kita nak buat? Kita hantar nota diplomatik lagi? Sebab, kalau kita takut kepada China, kita juga akan takut kepada Amerika. Jadi, esok-esok takut kepada negara-negara kecil. Nelayan Vietnam pun kita tak boleh tangkap semua, sebab dia sekali masuk 100. Kapal kita nak tangkap dua, tiga biji. Kita tak boleh tangkap semua pun. Jadi, saya cadangkan supaya hadir melebihi daripada mereka. Ini cara diplomatik.
Datoʼ Sri Ikmal Hisham bin Abdul Aziz - Tanah Merah
Sebab itulah LCS kena siap. Kalau LCS siap, isu ini boleh diselesaikan.
Tuan Haji Adly bin Zahari
Terima kasih Yang Berhormat Arau. Memanglah saya yakin bahawa Kerajaan Malaysia MADANI ini, insya-Allah, dia akan siapkan LCS kita sepertimana yang ketidakyakinan― memanglah Tanah Merah tak ada keyakinan, tapi berdasarkan kepada progress, kita boleh melihat bahawa kita sudah fasa di akhir untuk menyiapkan aset-aset kita. Bukan sahaja tentang LCS tapi kalau kita lihat, kita juga dalam proses menyiapkan LMS kita di Turki dan kita masuk fasa seterusnya untuk meningkatkan lagi keupayaan kapal kita.
Tadi, Arau cadangkan kita letak lebih banyak kapal. Memang kita rancang untuk dapat lebih banyak aset ya. Tapi, cadangan Arau untuk letakkan kapal yang tak boleh berfungsi itu dekat situ, saya fikir itu harus difikirkan banyak kalilah, bukan sekali sahaja, walaupun nak menampakkan keberadaan kita itu.
Tan Sri Yang di-Pertua, Yang Berhormat Saratok― walaupun masa saya dah habis, saya minta sedikit masa lagi.
Tuan Yang di-Pertua
Berapa minit lagi, Menteri?
Tuan Haji Adly bin Zahari
Dalam tiga minit lagi.
Tuan Yang di-Pertua
Okey, tiga minit lagi ya.
Tuan Haji Adly bin Zahari
Yang Berhormat Saratok juga telah bertanya tentang berkenaan pemindahan Markas Wilayah Laut 4 (MAWILLA 4) TLDM. Ini terkait juga dengan cabaran kita di Laut China Selatan pada masa akan datang dan juga penjagaan wilayah-wilayah kita dari Samalaju, Bintulu ke Muara Tebas, Kuching. Ini pindahan MAWILLA 4.
Untuk makluman Yang Berhormat, justifikasi pertukaran MAWILLA 4 daripada Bintulu ke Muara Tebas adalah disebabkan oleh beberapa faktor. Yang pertama adalah pertukaran lokasi pembinaan MAWILLA 4 dari Bintulu ke Muara Tebas bukan hanya melibatkan aspek jarak relatif ke kawasan berisiko tetapi turut merangkumi penilaian strategik dan kos selenggaraan infrastruktur marin untuk jangka masa panjang.
Kedua, lokasi Muara Tebas dilihat sebagai lokasi strategik untuk pemantauan menyeluruh zon maritim Malaysia. Dan ketiga, lokasi MAWILLA 4 di Muara Tebas menawarkan penjimatan dari segi kos pembangunan infrastruktur marin dan juga jeti dengan komponen pembangunan sama seperti di Samalaju.
Dan yang kelima, kerja-kerja pengerukan dan senggaraan laluan navigasi ini melibatkan kos yang agak tinggi, kalau kita lihat, berbeza dengan Bintulu di mana TLDM harus menanggung kos pengerukan bagi senggaraan laluan navigasi ini sekitar RM35 juta bagi setiap dua tahun.
Tuan Yang di-Pertua
Ketereh bangun, Yang Berhormat.
Tuan Haji Adly bin Zahari
Ketereh, ya.
Datoʼ Khlir bin Mohd Nor - Ketereh
Tan Sri Yang di-Pertua, terima kasih.
Ada dalam perbahasan itu saya ada masuk satu aspek yang paling penting iaitu pelarasan gaji veteran angkatan tentera yang bersara sebelum 2013. Jadi, saya nak beritahu macam ini sajalah. Masa dah tak ada. Sebab, kalau Timbalan Menteri nak sebut pun, makan masa panjang.
Tuan Haji Adly bin Zahari
Jangan tanya panjang sangat. Saya boleh jawab itu.
Datoʼ Khlir bin Mohd Nor - Ketereh
Bukan jawab. Saya nak bagi tahu, buat benda itu. Sebab itu hak mereka mengikut seksyen 187 Akta Angkatan Tentera 1972 dibaca dengan Perkara 137 Perlembagaan Persekutuan. Jadi, kalau kita tak buat yang itu, niayalah dia. Dia dah tua-tua semua dah ini. Dia dok tunggu ini, apa yang kita nak sebut ini. Jadi, saya harap ini.
Okey, bersabit dengan my friend Jelutong. Lepas ini kita jumpa. I will explain fully kepada you. Nanti kejap lagi saya pergi jumpa. Lepas ini kita jumpa dekat luar.
Tak bergaduh, Tan Sri. Saya nak bagi explain dekat dia sikit.
Tuan Yang di-Pertua
Baik. Menteri jawab dan landing terus.
Tuan Haji Adly bin Zahari
Ya, ya. Tadi macam dibangkitkan oleh Yang Berhormat Ketereh...
Datoʼ Sri Ikmal Hisham bin Abdul Aziz - Tanah Merah
Tapi, Speaker, saya ada soalan yang pasal kriteria pasal isu lantikan PAT dan pegawai kanan. Saya nak sangat jawapan itu.
Tuan Haji Adly bin Zahari
Tak apa, nanti saya jawab. Yang mana saya tak sempat jawab, saya akan jawab secara bertulis, Tan Sri.
Tuan Yang di-Pertua
Okey.
Tuan Haji Adly bin Zahari
Dan kalau kita lihat, ini antara aspek-aspek kita merubah kita punya lokasi daripada di MAWILLA 4 di Sarawak itu. Ini untuk makluman Yang Berhormat.
Dan kalau kita lihat― saya bangkitkan tadi ya. Saya tahu ada beberapa perkara. Yang terakhir, saya mungkin sentuh sedikitlah, kalau tak sentuh tentang apa yang dibangkitkan oleh Ketereh tentang pencen veteran angkatan tentera yang berpencen sebelum daripada 2013.
Walaupun kita tahu bahawa mahkamah telah membuat keputusan yang tidak berpihak kepada anggota veteran tapi kita di Kementerian Pertahanan, anggota veteran ini tanggungjawab kita. Sama ada mahkamah buat keputusan berpihak atau tidak berpihak, itu tanggungjawab kita di angkatan tentera, terutamanya melalui JAF itu.
Sebab itu, di kala mahkamah bersidang dan mahkamah berbincang mengenai itu, saya tiga tahun, walaupun persoalan itu dikemukakan, kita tak boleh berbincang di sini kerana kita terikat dengan mahkamah itu. Tetapi, kita tahu bahawa dalam tempoh itu, kita juga bertindak untuk memberikan segala hak kepada veteran, terutamanya kepada veteran yang tak berpencen. Kerana kita tahu, itu tak dibincangkan di mahkamah.
Jadi, sebab itu kalau kita lihat, di dalam bidang kuasa kita, Bantuan Sara Hidup kita berikan kepada anggota tak berpencen dan Bantuan Sara Hidup juga kita berikan kepada anggota berpencen yang di bawah paras garis kemiskinan. Dan bila mahkamah sudah membuat keputusan sebegini, kita di Kementerian Pertahanan bukan kita melepaskan...
Datoʼ Khlir bin Mohd Nor - Ketereh
[Bangun]
Tuan Haji Adly bin Zahari
Bagi saya, bukan siapa menang atau siapa kalah.
Datoʼ Khlir bin Mohd Nor - Ketereh
Tan Sri Yang di-Pertua, saya nak mencelah. Sekejap, saya nak mencelah. Sebenarnya keputusan mahkamah itu kerana keputusan MAT tahun 1983. Dia telah menafikan hak.
Datoʼ Khlir bin Mohd Nor - Ketereh
Kena tengok betul-betul. Jangan mahkamah-mahkamah. Saya tak mahu dengar itu semua itu.
Tuan Yang di-Pertua
Tak boleh. Yang Berhormat tak boleh kata begitu.
Datoʼ Khlir bin Mohd Nor - Ketereh
Bukan. Bukan Tan Sri. Benda yang tak ada facts and figure. Tak boleh macam gini.
Tuan Yang di-Pertua
Yang Berhormat. Bila mahkamah buat keputusan, kita kena respons.
Datoʼ Khlir bin Mohd Nor - Ketereh
Mahkamah buat keputusan Tan Sri.
Bergantung kepada MAT tahun 2017.
Tuan Yang di-Pertua
Saya cadang ini, Yang Berhormat, bincang dengan Menteri di luar. Selepas itu, masa tak cukup dah.
Datoʼ Khlir bin Mohd Nor - Ketereh
Okey, bincanglah. Tapi saya tak sedap dengar macam ni.
Tuan Haji Adly bin Zahari
Tan Sri Yang di-Pertua, saya tak nafikan keprihatinan Ketereh itu berhubung dengan perkara itu. Dan maklumat-maklumat itu sebenarnya juga banyak membantu kita dalam kita memastikan bahawa kita di peringkat kementerian itu pastikan bahawa kesejahteraan veteran itu menjadi keutamaan kita. Sama ada dia berpencen ataupun tidak berpencen. Sebab itu kalau kita tengok Kerajaan Malaysia MADANI di bawah SSPA yang terbaru, libatkan juga anggota veteran semua sama ada yang berpencen itu untuk mereka ada peningkatan pencen. Tapi tidak cukup setakat itu kerana kita tahu keperluan veteran angkatan tentera itu pelbagai dan harus juga kita berikan juga peningkatan.
Dan saya ingin ingatkan juga Yang Berhormat Ketereh, bila bangkitkan soal salam itu, walaupun dia di luar daripada ini. Saya fikir penghormatan itu tidak boleh dialihkan seolah-olah menggambarkan bahawa ia nya sebagai suatu kerendahan kepada itu. Sebab biasanya kalau saya sendiri kalau jumpa dengan Panglima, kita biasanya kita tak tabik, kita orang awam. Jadi kita tunduk.
Jadi, kalau saya tengok gambar-gambar itu, tundukkan itu dilihat sebagai satu penghormatan yang amat rendah. Itu pun saya fikir jangan kita alihkan sejauh itu kerana penghormatan kita kepada anggota pertahanan tak pernah berbelah bahagi dan tak ada siapa pun yang kita rendahkan kerana kita tahu dalam apa isu sekalipun, anggota pertahanan kita telah mengorbankan bukan sahaja masa mereka, tapi nyawa mereka untuk negara kita.
[Tepuk] Jadi, tak pernah timbul soal itu ataupun mahu kita rendahkan. Jadi saya, Tan Sri Yang di-Pertua, yang di akhirnya saya merakamkan penghargaan kepada semua yang berhormat.
Datoʼ Sri Ikmal Hisham bin Abdul Aziz - Tanah Merah
Speaker, Timbalan Menteri.
Tuan Yang di-Pertua
Tanah Merah, Tanah Merah.
Tuan Haji Adly bin Zahari
Di Dewan Rakyat, cukuplah.
Datoʼ Sri Ikmal Hisham bin Abdul Aziz - Tanah Merah
Isu...
Tuan Yang di-Pertua
Tanah Merah, Tanah Merah.
Tuan Haji Adly bin Zahari
...bahagian dalam perbahasan isu-isu ini, saya ucap terima kasih. Tanah Merah banyak dah saya bagi ruang. Dan saya pun dah banyak menggunakan masa daripada Tan Sri Yang di-Pertua.
Datoʼ Sri Ikmal Hisham bin Abdul Aziz - Tanah Merah
Tapi Speaker, ini isu keselamatan negara.
Tuan Yang di-Pertua
Semua isu, semua isu rakyat.
Tuan Haji Adly bin Zahari
...dan Kementerian Pertahanan mengambil kira semua hujah dan pertimbangan ini dibangkitkan oleh Ahli Yang Berhormat sekalian, demi usaha penambahbaikan dan pemerkasaan pertahanan negara yang lebih menyeluruh dan juga yang inklusif. Bagi soalan-soalan yang tidak sempat dijawab sepertimana yang saya sebut tadi, akan saya kemukakan jawapan secara bertulis dalam tempoh yang kita tetapkan. Saya mengambil kesempatan ini untuk menzahirkan penghargaan tertinggi kita kepada Angkatan Tentera Malaysia yang sedia mempertaruhkan nyawa demi pertahanan, keselamatan dan kedaulatan tanah air tercinta kita. Sekian, terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua - Tan Sri Datoʼ Dr. Johari bin Abdul
Baik, terima kasih. Seterusnya saya menjemput Menteri Sains.
Datoʼ Seri Dr. Shahidan bin Kassim - Arau
[Berucap tanpa menggunakan pembesar suara]
Tuan Yang di-Pertua
Isu apa tadi? Tak dengar. Apa dia?
Datoʼ Seri Dr. Shahidan bin Kassim - Arau
Saya dah hantar 13 usul dan jawapan Speaker— saya orang lain tak boleh. Speaker ni ya, boleh. Itu saya minta tolong. Orang lain saya tahu akan— nak buka mulut yang tak boleh. Ni Speaker yang teragung. Bagi saya peluang cakap sikit. Yang terakhir ni struktur agihan dividen KWSP, agar dividen tu semua dimasuk pada akaun 3. Ni Speaker belum jawab lagi.
Tapi yang lain ni, yang Speaker telah pun jawab, semua jawapan bahawa Menteri akan gulung. Tapi setengahnya Menteri tak gulung. Jadi, apa yang harus kita buat Yang Berhormat? Contohnya, hal ini Speaker sendiri, isu menyekat hak Ahli Parlimen mengadakan sidang akhbar. Ini Speaker sendiri, boleh jawab hari ini. Tak ada masalah.
Kemudian isu keputusan strategik dalam pelupusan aset dan pegangan ekuiti. Semuanya Menteri akan jawab, tapi Menteri tak jawab. Jadi, apa yang harus saya buat Tan Sri? Untuk membolehkan Menteri tak jawab tapi Speaker kata Menteri jawab. Jadi, apa yang harus kita buat sekarang? 18(12) saya dah buat. Apakah ada peraturan lain yang saya tak sempat baca yang Tan Sri boleh tolong saya?
Tuan Yang di-Pertua
Ya, lazimnya apa yang berlaku, Menteri diberikan masa 30 minit atau 40 minit. Okey, jadi datang awal untuk lihat kalau sekiranya tidak ada jawapan yang Arau atau Ahli-ahli Yang Berhormat yang lain tak dapat, harus dibangkitkan waktu itu, seterusnya saya dah kemukakan soalan ini dan minta Menteri jawab. Kalau pun tak boleh secara lisan, secara bertulis supaya ada evidence.
Datoʼ Seri Dr. Shahidan bin Kassim - Arau
Boleh tak Yang Berhormat, saya minta Menteri menjawab semua usul saya ini secara bertulis. Bertulis pun saya puas hati [Tidak jelas] sebab kalau tidak— saya menyediakan ini bukan senang nak karang ayat. Cukup susah sebab Tan Sri seorang yang tengok detail, kena ikut betul- betul.
Tuan Yang di-Pertua
Tapi ya Arau, kalau Arau perhatikan betul-betul, separuh atau berlebih daripada separuh, yang dibangkitkan itu telah pun dijawab.
Telah pun dijawab. Dan ada yang ucapan-ucapan Menteri itu telah berkait rapat dengan soalan itu. Untuk itu, untuk dapat detail-nya itu, jumpalah Menteri. Apa salahnya. Walaupun kita berbeza. Berbeza tempat duduk. Tapi tidak mempunyai kesalahan untuk bertanya.
Datoʼ Seri Dr. Shahidan bin Kassim - Arau
Boleh Yang Berhormat. Saya minta macam kelmarin kan, penerangan Perdana Menteri...
Datoʼ Sri Ikmal Hisham bin Abdul Aziz - Tanah Merah
Speaker, saya nak...
Tuan Yang di-Pertua
Kita ni hari Khamis. Hari Khamis ini kita nak rush.
Datoʼ Seri Dr. Shahidan bin Kassim - Arau
Macam pandangan Perdana Menteri, katanya dia bagi peluang dua-dua untuk berucap. Dia tak timbullah keadaan menggunakan bahasa-bahasa emosi dan sebagainya. Saya tak mahu yang itu Tan Sri. Kalau kita balik, kita mati, kita rugi dalam keadaan, kita tak beramal, maaf- maafan. Saya memohon kepada Kerajaan Perpaduan tapi Kerajaan Perpaduan tidak ikut perpaduan.
Tuan Yang di-Pertua
Okey. Noted, thank you very much.
Datoʼ Seri Dr. Shahidan bin Kassim - Arau
Peruntukan kami tidak dibagi lagi.
Datoʼ Sri Ikmal Hisham bin Abdul Aziz - Tanah Merah
Tan Sri Speaker, pada pandangan saya jugalah, mungkin Tan Sri Speaker boleh maklum kepada pihak kerajaan, kadang-kadang yang bila mereka menjawab tu, mereka menjawab mukadimah dia panjang, tidak direct kepada soalan sebab yang bila kita bahas dengan Speaker, banyak isu kita bangkit. Bukan pasal pertahanan saja, maksud saya kementerian-kementerian lain. Mukadimah panjang. Jadi, banyak menyebabkan soalan-soalan banyak tak terjawab. Terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua
Insya-Allah. Saya telah pun maklumkan kepada semua KSU-KSU kementerian, saya dah jumpa mereka minggu lepas. Saya mintalah supaya semua KSU-KSU maklumkan kepada Menteri seperti yang Tanah Merah cadangkan. Mukadimah tu kalau boleh pendekkan. Terus menjawab soalan- soalan sebab kebanyakan wakil rakyat tunggu di sini nak mendengar jawapan dia.
Mukadimah itu kita faham. Website pun ada. Jadi, kita mintalah KSU-KSU kalau dengar siaran ini, tolong maklum kepada Menteri-menteri mereka ya. Baik, terima kasih.
Datoʼ Seri Dr. Shahidan bin Kassim - Arau
Menteri-menteri Kerajaan Tempatan.
Tuan Yang di-Pertua
Sains, Teknologi dan dan Inovasi, silakan 30 minit dari sekarang.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi - Datoʼ Dr. Mohammad Yusof bin Apdal
Terima kasih. Tan Sri Dr. Yang di-Pertua.
Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam sejahtera dan salam Malaysia MADANI. Sebelumnya, saya ingin memohon untuk mengalu-alukan kehadiran guru-guru dan pelajar-pelajar MRSM Kota Bharu Ulul Albab, Besut Terengganu, Tahfiz. Terima kasih.
Terlebih dahulu, izinkan saya merafak sembah dan menjunjung kasih ke atas titah Duli Yang Maha Mulia Seri Perduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sempena Pembukaan Penggal Kelima Parlimen ke-15 pada 19 Januari yang lalu. Titah ucapan Seri Perduka Baginda Yang di-Pertuan Agong jelas menunjukkan keprihatinan Baginda terhadap kedaulatan negara, kemajuan ekonomi, kemakmuran perpaduan dan kestabilan politik di negara ini.
Titah Baginda Tuanku terhadap usaha memerangi amalan rasuah secara besar-besaran menunjukkan ketegasan Baginda Tuanku demi kesejahteraan rakyat naungan Baginda. Patik mendoakan agar Allah SWT menganugerahkan Baginda Tuanku kesihatan yang berpanjangan, memayungi negara dengan kebijaksanaan dan keadilan serta menjadi pemangkin penyatuan perpaduan dan kemakmuran negara. Amin Ya Rabbil Alamin.
Tan Sri Dr. Yang di-Pertua, sebelum saya meneruskan sesi menjawab perbahasan usul Menjunjung Kasih ke atas Titah Diraja, izinkan saya untuk merakamkan ucapan terima kasih kepada beberapa orang Ahli-ahli Yang Berhormat yang telah mengambil bahagian dalam serta menyentuh perkara-perkara mengenai peranan MOSTI. Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, Titah Baginda Tuanku secara ringkasan menyentuh mengenai kepentingan teknologi keselamatan digital, integriti maklumat serta teknologi defect, jelas menunjukkan kerisauan Baginda Tuanku terhadap kestabilan sosial dan keselamatan rakyat.
Dalam hal ini, MOSTI turut berperanan untuk memastikan teknologi-teknologi yang berkaitan terus dimantapkan supaya keciciran maklumat peribadi masyarakat dapat diatasi. Untuk makluman Yang Berhormat jua, perkembangan inovasi teknologi merupakan pemacu perubahan yang membolehkan Malaysia keluar daripada dengan izin middle-income trap. Walaupun Malaysia mempunyai keupayaan inovasi yang tinggi, keupayaan tersebut dilihat masih gagal menyumbang kepada pendapatan per kapita negara ke arah mencapai status sebagai negara berpendapatan tinggi.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi - Datoʼ Dr. Mohammad Yusof bin Apdal
Ingin saya tegaskan di sini, penyelidikan dan pembangunan atau R&D teknologi bukan lagi satu pilihan tetapi satu keperluan strategik nasional. R&D merupakan pemacu utama kepada produktiviti, daya saing industri, penciptaan teknologi baharu serta pembangunan modal insan berkemahiran tinggi. Namun begitu, Laporan R&D Kebangsaan 2023 dengan jelas menunjukkan bahawa tahap pelaburan R&D negara masih belum mencapai sasaran yang ditetapkan.
Pada tahun 2022, nisbah perbelanjaan kasar R&D kepada KDNK hanyalah 1.01 peratus. Masih jauh daripada sasaran 2.5 peratus menjelang 2030 seperti yang digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-13. Ini menandakan bahawa Malaysia perlu menggandakan usaha secara agresif bagi merapatkan jurang dengan negara- negara maju di rantau Asia.
Walau bagaimanapun, terdapat perkembangan positif yang wajar diberi pengiktirafan. Perbelanjaan R&D sektor swasta telah meningkat secara ketara daripada 34.2 peratus pada tahun 2020 kepada 51.4 peratus daripada keseluruhan GERD pada tahun 2022. Sekali gus, menjadikan sektor perusahaan perniagaan sebagai penyumbang besar kepada R&D negara.
Peralihan nisbah pembiayaan R&D daripada kerajaan kepada swasta ini menunjukkan keyakinan industri terhadap ekosistem inovasi negara dan merupakan penunjuk awal kepada transformasi ke arah ekonomi pacu inovasi. MOSTI juga memberi tumpuan serius kepada pembangunan modal insan R&D. Laporan R&D Kebangsaan 2023 merekodkan peningkatan bilangan penyelidik sebanyak 72.5 peratus daripada 53,205 orang pada tahun 2020 kepada 91,789 orang pada tahun 2022.
Namun begitu, untuk mencapai sasaran nasional, negara masih memerlukan kira-kira 220,000 penyelidik bagi memenuhi penanda aras 200 penyelidik bagi setiap 10,000 tenaga kerja. Justeru, MOSTI memperkukuh laluan kerjaya penyelidik, kerjasama TVET–industri dan program mobiliti bakat bagi memastikan kesinambungan ekosistem R&D negara.
Tan Sri Dr. Yang di-Pertua, seterusnya izinkan saya untuk menjawab pertanyaan serta cadangan daripada Yang Berhormat sekalian secara satu persatu.
Dimulakan dengan Yang Berhormat Simpang Renggam, yang mencadangkan supaya negara-negara membangun berani mencipta laluan penyelidikan dan pembangunan atau R&D sendiri, termasuk mengambil lencongan strategik dalam inovasi dan teknologi.
Saya turut menyokong pandangan Yang Berhormat supaya kerajaan bertindak sebagai pemudah cara kepada syarikat teknologi tempatan agar dapat membina usaha sama pelaburan serius demi membangunkan kepakaran R&D dan bertaraf antarabangsa dalam negara.
Menyedari realiti dan cabaran ini, MOSTI sedang melaksanakan beberapa inisiatif bersasar untuk meningkatkan kualiti dan impak R&D negara. Antaranya termasuk penstrukturan semula geran penyediaan berfokuskan mission oriented R&D, pengukuhan kerjasama industri akademia melalui pendekatan co-creation serta akademia serta keluasan penggunaan geran berpadanan bagi menggalakkan pelaburan swasta dalam aktiviti R&D berimpak tinggi.
Sebagai contoh, Malaysian Technology Development Corporation (MTDC) di bawah MOSTI yang melaksanakan satu inisiatif kajian bagi pembangunan Kerangka Kedaulatan Teknologi Negara atau, dengan izin, National Technology Sovereignty Framework (NTSF).
Secara umumnya, kerangka ini akan dijadikan sebagai kerangka dasar nasional bagi memupuk keupayaan pembangunan teknologi secara kendiri, memastikan keselamatan teknologi serta merangka pelaburan secara strategik bagi menyokong kedaulatan teknologi negara. Bagi memastikan pelaburan R&D ini diterjemahkan kepada impak besar sebenar di peringkat negeri dan komuniti pula, MOSTI turut memperkenalkan Malaysia Innovation Index (MII) sebagai instrumen dasar strategik.
Laporan MII 2025 telah menyediakan profil inovasi di semua negeri, sekali gus membolehkan Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri merancang intervensi R&D dan inovasi secara lebih bersasar dan berasaskan data. MII bukan sekadar alat penilaian tetapi berfungsi sebagai mekanisme penyelarasan dasar untuk mengurangkan ketidakseimbangan geografi R&D, memandangkan hampir 40 peratus GERD negara masih tertumpu di Lembah Klang. Melalui MII, MOSTI memastikan agenda R&D dan inovasi nasional adalah selari di peringkat Persekutuan, negeri dan tempatan serta menyokong aspirasi Malaysia untuk berada dalam kelompok 20 teratas Global Innovation Index menjelang tahun 2030.
Seterusnya, mengenai sasaran Yang Berhormat terhadap kepentingan pemilikan ekuiti bumiputera dalam pembangunan teknologi masa depan. Perkara ini merupakan salah satu strategi MOSTI bagi tahun ini supaya peluang dan potensi syarikat teknologi bumiputera dipertingkatkan dan berkeupayaan daya saing di peringkat global. Untuk itu, MOSTI melalui dana pelaburan strategik atau, dengan izin, high growth high value (HGHV) bumiputera yang dikendalikan oleh VentureTECH telah dimandatkan untuk memperkasakan syarikat bumiputera dan meningkatkan pemilikan ekuiti bumiputera dalam sektor-sektor berteknologi tinggi seperti bioteknologi, teknologi hijau, teknologi baharu muncul dan sektor HGHV. Ini adalah selaras dengan sektor-sektor tumpuan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13
(RMK13) dan Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35).
Setakat ini, 35 syarikat bumiputera telah menerima pelaburan ekuiti daripada VentureTECH merangkumi sektor-sektor yang dinyatakan di atas. Daripada jumlah tersebut, tiga syarikat telah berjaya melaksanakan strategi keluar atau exit dan penembusan penuh full redemption, menggambarkan kematangan perniagaan serta keberkesanan pendekatan pelaburan dan pembangunan nilai yang dilaksanakan.
Nilai pasaran keseluruhan syarikat-syarikat ini mencecah RM2.7 bilion dengan agregat jualan tahunan menghampiri RM1 bilion, manakala sebanyak 15 syarikat portfolio pelaburan VentureTECH telah berjaya menembusi pasaran global.
Untuk tahun 2026, VentureTECH diluluskan peruntukan berjumlah RM105 juta untuk tujuan pelaburan syarikat-syarikat bumiputera yang berpotensi, yang terlibat dalam sektor teknologi strategik dan berimpak tinggi.
Selain itu, Cradle Fund Sdn. Bhd. (Cradle) di bawah MOSTI juga telah melaksanakan pelbagai inisiatif bagi menyokong pembangunan ekosistem syarikat pemula dan menggalakkan penyertaan masyarakat tempatan, termasuk belia dan bumiputera. Seterusnya, membantu kelangsungan dan pertumbuhan syarikat pemula teknologi melalui penyediaan pembiayaan sokongan awal, pembangunan kapasiti serta akses kepada pesara. Pada tahun 2025, peratusan penerima geran Cradle dalam kalangan bumiputera meningkat kepada 33 peratus berbanding 29 peratus pada tahun 2024.
Mengenai saranan Yang Berhormat Simpang Renggam, berhubung mengambil pendekatan baharu pembangunan bakat melalui rangkaian mentor berasaskan komuniti dan industri supaya mempercepatkan pemindahan ilmu, pengalaman serta peluang. MOSTI melalui Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) sentiasa komited dalam memperkasakan pembangunan bakat dan inovasi tempatan, khususnya dalam kalangan komuniti luar bandar, termasuk di kampung dan desa yang mempunyai akses terhad berbanding kawasan bandar.
Seiring dengan komitmen tersebut, YIM telah melaksanakan pelbagai inisiatif berimpak. Antaranya, pendekatan proaktif turun ke lapangan bagi mengenal pasti, membimbing dan menyokong inovator akar umbi yang berpotensi menyelesaikan cabaran setempat melalui penyelesaian inovatif. Inisiatif ini bukan sahaja menyokong keterangkuman sosial dan merancakkan pembangunan ekonomi desa, malah memastikan teknologi dan inovasi berimpak sosial dapat diskalakan serta direplikasi secara lebih meluas di seluruh negara.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi - Datoʼ Dr. Mohammad Yusof bin Apdal
Dalam konteks memperkukuh rangkaian mentor bersepadu pula, ruang daya cipta atau RDC berpotensi menjadi platform pelaksanaan utama bagi pendekatan baharu pembangunan bakat berasaskan kolaborasi antara akademia, industri dan komuniti. Melalui RDC sebagai hab pemindahan ilmu, pengalaman dan peluang bakat tempatan dapat dihubungkan secara langsung dengan mentor industri, akademia dan komuniti sekali gus mempercepat pembelajaran berasaskan projek sebenar serta membuka akses yang lebih luas kepada peluang kerjaya dan keusahawanan.
Seterusnya, saya ingin beralih kepada Yang Berhormat Kuala Terengganu iaitu terhadap saranan Yang Berhormat supaya R&D bukan sekadar aktiviti akademik, tetapi menyokong transformasi negara ke arah ekonomi berpendapatan tinggi.
Untuk makluman Yang Berhormat, di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas, MOSTI telah memperkenalkan geran padanan atau matching grants yang lebih kompetitif kepada syarikat dan industri supaya melaksanakan R&D berimpak tinggi yang memfokuskan kepada ekonomi berpendapatan tinggi dan teknologi baharu.
Dana R&D MOSTI ini juga akan memfokuskan kepada penyediaan infrastruktur sokongan yang kritikal untuk mempercepatkan transformasi negara.
Antaranya ialah menetapkan syarat kolaborasi industri akademia supaya projek R&D yang dilaksanakan mampu memberi impak yang lebih besar kepada ekonomi dan pembangunan bakat tempatan.
Pada tahun ini juga, MOSTI akan memperkenalkan dana baharu iaitu dana pengkomersialan yang berteraskan pendekatan pemecut pengkomersialan berstruktur atau dengan izin, structured commercialization accelerator (SCA).
Dengan menyediakan pembiayaan pemangkin untuk pembangunan fasa akhir R&D, bagi memastikan hasil R&D dapat disampaikan kepada pengguna sebenar dan memasuki pasaran dengan lebih efektif.
Dana ini akan dibuka permohonan dalam suku pertama tahun 2026 dengan nilai pembiayaan sehingga RM1 juta setiap projek berimpak tinggi bergantung kepada tahap kesediaan teknologi. Buat masa ini, tumpuan utama akan diberikan kepada projek yang selari dengan kerangka MySTIE dan Pelan Hala Tuju RDICE iaitu penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi.
Tan Sri Dr. Yang di-Pertua, saya turut menghargai kerisauan Yang Berhormat Kuala Terengganu dan Yang Berhormat Jerantut terhadap pelaburan R&D negara yang masih ketinggalan jauh dan tidak mencukupi berbanding negara-negara maju.
Untuk menjawab perkara ini, sepertimana jawapan kepada Yang Berhormat Simpang Renggam, akan menyentuh beberapa strategi MOSTI seperti pelaksanaan Malaysia Innovation Index bagi mempertingkatkan pemantauan peranan R&D&I kepada pihak swasta serta kerajaan negeri termasuk Wilayah Sabah dan Sarawak.
Selain itu, bagi meningkatkan penglibatan R&D oleh pihak swasta, inisiatif Malaysia Science Endowment atau MSE turut diberi fokus bagi tahun ini. Pendekatan MSE sebagai tabung dana alternatif kebangsaan yang lestari akan meningkatkan kerjasama dengan pihak industri dan rakan-rakan strategik antarabangsa serta membiayai aktiviti R&D negara secara berterusan.
Berkenaan dengan isu ketidaksepadanan pekerjaan atau mismatch di kalangan graduan termasuk graduan STEM yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat, MOSTI telah melaksanakan pendekatan foresight dan data melalui penghasilan STI Foresight Report 2025-2040: Future of STEM Talent in Malaysia dan bagi menjawab tiga persoalan dasar utama iaitu yang pertama, trend dan kecenderungan masa hadapan yang membentuk bakat STEM.
Yang kedua, bidang keutamaan STEM masa hadapan yang perlu diberi perhatian oleh negara dan yang ketiga, potensi serta intervensi yang boleh dilaksanakan bagi pemerkasaan bakat STEM di peringkat pemegang taruh yang terlibat. Bagi tahun ini, MOSTI akan memulakan sesi libat urus dengan kementerian- kementerian dan kerajaan negeri untuk mendapatkan kerjasama pelaksanaan hasil daripada dapatan laporan Future of STEM Talent in Malaysia ini.
Seterusnya, sepertimana titah Seri Paduka Baginda Tuanku serta pertanyaan daripada Yang Berhormat Bukit Bendera, fokus pembangunan teknologi MOSTI tahun ini turut melihat potensi teknologi deepfake yang kini disalah gunakan untuk tujuan penipuan penyebaran maklumat palsu serta mencemarkan maruah individu termasuklah penyasaran dan pengaiban wanita seperti yang telah berlaku dalam beberapa kes di peringkat global.
MIMOS telah merangka satu pelan berperingkat bagi membangunkan keupayaan negara dalam mengenal pasti dan mengesahkan kandungan deepfake.
Usaha ini bermula dengan pembinaan asas sistem pengesanan dan kaedah pemantauan yang telus diikuti dengan peningkatan keupayaan untuk mengesan pelbagai bentuk kandungan seperti imej, video dan audio.
Seterusnya, melalui kerjasama dengan kementerian dan agensi yang berkaitan, sistem ini akan diperluaskan untuk kegunaan operasi melalui platform digital yang menyokong pengesanan kandungan secara pantas serta kemudahan siasatan digital bagi membantu pihak berkuasa menangani kes penyalahgunaan.
Seterusnya, saya ingin memberi penerangan mengenai cadangan Yang Berhormat Batu dalam aspek mekanisme ataupun inisiatif BESS dengan izin, Battery Energy Storage System ataupun battery farm. MOSTI bersama rangkaian agensi kerajaan lain memainkan peranan signifikan dalam memajukan pembangunan Battery Energy Storage System (BESS) di Malaysia bagi menyokong peralihan yang kian pesat ke arah penggunaan teknologi baharu, teknologi boleh baharu atau TBB.
HEBATT yang dilancarkan pada September 2022 merupakan inisiatif utama di bawah NanoMalaysia Energy Storage Technology Initiative atau NESTI oleh Nano Malaysia Berhad (NMB), sebuah agensi di bawah MOSTI untuk memperkukuh ekosistem penyimpanan tenaga tempatan dan sistem pengurusan haba dalam sektor strategik, terutamanya sektor tenaga boleh baharu (TBB) dan ekonomi digital.
HEBATT berfungsi sebagai platform fizikal triple helix yang menghubungkan NMB, industri dan institut pengajian tinggi (IPT) bagi mempercepat R&D serta pengkomersialan bateri berasaskan kendak pasaran, termasuklah pelaksanaan projek BESS di luar grid di Selangor, Perak, Johor dan Pahang.
Dari segi pencapaian, HEBATT telah menghasilkan bateri PET, litium-ion skala makmal atau penyelidikan diperkasakan oleh bahan termaju jenis karbon dengan ketumpatan tenaga sebanyak 50 peratus hingga 60 peratus lebih tinggi daripada purata pasaran semasa. HEBATT juga telah memeterai memorandum persefahaman atau MoU bersama Neu Battery Materials Singapura untuk kitar semula litium dan..
[Tidak jelas] At Khon Kaen University di Thailand untuk menyediakan platform pembuatan berskala bagi merapatkan jurang minat dari pelaburan tempatan dan rakan strategik di rantau ASEAN.
Selain itu, latihan peringkat pertama telah berjaya dilaksanakan. Pada 25 dan 26 November 2024, dengan kerjasama International Battery Center Sdn. Bhd. telah mendapat penyertaan dari syarikat PKS dan universiti tempatan yang berkepentingan. Pada peringkat tadbir urus, MEXCO-STI pada 28 April 2025 turut bersetuju menubuhkan Joint Committee on Battery Supply untuk menyelaras kerjasama rentas kementerian, agensi pelaksana dan kerajaan negeri serta menyokong pembangunan rantaian nilai bateri tempatan dari huluan hingga hiliran termasuklah perlombongan, pemprosesan, pembuatan, penggunaan akhir dan kitar semula.
Inisiatif ini turut merangkumi penciptaan kehendak pasaran melalui interaksi strategik bersama pihak industri EV dan BESS bagi mempercepat penerimaan gunaan serta pengkomersialan. Dalam masa yang sama, Pusat Nanoteknologi Kebangsaan MOSTI dan NanoMalaysia Berhad mengalu-alukan penyertaan dan pelaburan pihak swasta untuk memperkukuh skala pengeluaran serta daya saing industri bateri tempatan.
Tan Sri Dr. Yang di-Pertua, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan setiap cadangan, pandangan dan pertanyaan yang telah dilontarkan oleh Ahli-ahli Yang Berhormat. Dengan itu, sekian sahaja maklum balas saya tentang perkara-perkara di bawah MOSTI yang dibangkitkan oleh Ahli-ahli Yang Berhormat dalam perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat bagi Penggal Kelima, Parlimen Kelima Belas dan saya sekali lagi mengucapkan terima kasih kepada semua Ahli Yang Berhormat yang telah mengambil bahagian dalam perbahasan yang menyentuh bidang kuasa Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi. Sekian, terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua
Baik. Terima kasih. Sekarang saya jemput Menteri Luar Negeri, 30 minit.
Timbalan Menteri Luar Negeri - Dato Lukanisman bin Awang Sauni
Terima kasih Tan Sri Yang di-Pertua. Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam sejahtera dan salam Malaysia MADANI.
Pada kesempatan ini saya ingin mengucapkan terima kasih kepada sembilan Ahli Yang Berhormat yang telah membangkitkan isu-isu berkait rapat dengan Kementerian Luar Negeri semasa sesi perbahasan ke atas Titah Diraja Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
Ahli-ahli Yang Berhormat yang terlibat di dalam sesi perbahasan adalah Yang Berhormat Simpang Renggam, Yang Berhormat Selayang, Yang Berhormat Saratok, Yang Berhormat Bangi, Yang Berhormat Sik, Yang Berhormat Kuantan, Yang Berhormat Jerantut, Yang Berhormat Marang dan juga Yang Berhormat Kalabakan.
Tan Sri Yang di-Pertua, saya mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Simpang Renggam, Yang Berhormat Bangi dan juga Yang Berhormat Sik yang membangkitkan isu berkaitan Dasar Luar Malaysia. Dalam era ketidaktentuan geopolitik, Malaysia kekal teguh mengamalkan dasar luar yang aman, bebas, berkecuali, berteraskan nilai-nilai keamanan, kemanusiaan, keadilan dan kesaksamaan. Pendekatan yang berprinsip dan pragmatik ini telah menjadi tunjang kepada pelaksanaan Dasar Luar Malaysia sejak negara mencapai kemerdekaan dan ia telah terbukti berkesan dalam memelihara kedaulatan serta melindungi kepentingan negara.
Kerajaan tekad menerapkan pendekatan strategik tidak memihak secara aktif atau dengan izin, active non-alignment dalam mendepani cabaran reality multipolar pada hari ini. Hasilnya, Malaysia berjaya mengekalkan dan memupuk hubungan baik pelbagai negara di samping mengimbangi hubungan dengan dasar-dasar besar seperti Amerika Syarikat dan Republik Rakyat China.
Ini sekali gus membuka ruang yang luas bagi— lagi dinamik kepada Malaysia terutama sektor swasta kita untuk giat meneroka peluang perdagangan dan pelaburan antarabangsa termasuk menembusi pasaran baharu seperti Amerika Latin dan Afrika. Selari dengan pendekatan tersebut juga, Malaysia terus melipat kali gandakan usaha memperkukuhkan kerjasama dalam platform-platform pelbagai hala seperti perhubungan bangsa, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) dan BRICS bagi menangani isu-isu yang berkepentingan.
Ini termasuk dalam mengetengahkan isu Palestin dan Global South. Penglibatan aktif dan peranan utama yang dimainkan oleh Malaysia dalam platform- platform sebegini mencerminkan kekuatan suara serta komitmen teguh Malaysia dalam mendukung keadilan sosial bagi mengurangkan penderitaan manusia sejagat, mencapai penyelesaian konflik secara aman dan mempromosikan kestabilan global.
Kesimpulannya, penerapan pendekatan yang tidak memihak secara aktif dalam amalan diplomasi Malaysia adalah penting dalam memastikan negara ini kekal bebas dalam memperjuangkan kepentingan nasional dan strategik yang ditakrifkan mengikut syarat sendiri tanpa duduk kepada mana-mana tekanan luar.
Berkenaan tentang Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025. Tan Sri Yang di- Pertua, saya mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Simpang Renggam dan juga Yang Berhormat Jerantut atas hujahan serta pandangan yang diberikan berhubung kejayaan yang telah dicapai sepanjang Malaysia memegang tanggungjawab sebagai Pengerusi ASEAN 2025.
Sepanjang tempoh Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025, Malaysia telah membuktikan bahawa amanah yang digalas dilaksanakan dengan cemerlang dan berkesan. Kejayaan ini bukan saja mencerminkan keupayaan serta kepimpinan Malaysia, malah turut memperkukuhkan kedudukan negara sebagai peneraju serantau yang berwibawa dan dihormati di peringkat antarabangsa.
Selain itu, komitmen berterusan Malaysia dalam memperkukuhkan komuniti ASEAN, memelihara keamanan dan kestabilan serantau, serta mempertingkatkan integrasi dan juga kerjasama ekonomi telah menyumbang secara bermakna ke arah memastikan ASEAN kekal bersatu, relevan dan berdaya tahan dalam mendepani cabaran ketidaktentuan ekonomi serta geopolitik yang semakin kompleks.
Tan Sri Yang di-Pertua berkenaan tentang konflik Kemboja dan Thailand.
Saya mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Selayang yang telah membangkitkan mengenai situasi konflik Kemboja-Thailand. Perjanjian gencatan senjata yang dimeterai antara Kemboja dan Thailand pada 27 Disember 2025 merupakan perkembangan yang amat positif ke arah mewujudkan kestabilan dan keamanan yang berkekalan di rantau ini. Ia bukan saja mencerminkan komitmen tinggi kedua-dua pihak terhadap penyelesaian secara aman, malah turut menjadi bukti kejayaan berterusan Malaysia dalam memainkan peranan sebagai pemudah cara yang konstruktif dan berwibawa dalam konflik tersebut.
Malaysia akan terus menyokong sepenuhnya usaha Filipina sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun 2026 dalam memastikan kelangsungan keamanan di sempadan kedua-dua buah negara tersebut sentiasa terjamin di bawah pemantauan Pasukan Pemantau ASEAN atau dengan izin, ASEAN Observer Team (AOT).
Tuan Sanisvara Nethaji Rayer a/l Rajaji - Jelutong
Menteri.
Tuan Yang di-Pertua
Jelutong bangun ya.
Tuan Sanisvara Nethaji Rayer a/l Rajaji - Jelutong
Sedikit saja Menteri.
Terima kasih.
Dato Lukanisman bin Awang Sauni]
Yang Berhormat Jelutong.
Tuan Sanisvara Nethaji Rayer a/l Rajaji - Jelutong
Ya, saya ingin merakamkan ucapan penghargaan dan setinggi-tingginya tahniah dan terima kasih kepada Timbalan Menteri, Menteri kementerian, kerajaan dan Yang Berhormat PMX di atas kejayaan untuk menyelesaikan perbalahan di antara Thailand dan Kemboja.
Pada masa yang sama, saya ingin tanya juga, apakah peranan yang akan dimainkan oleh kerajaan terhadap kejadian-kejadian keganasan yang berlaku di Bangladesh, terutamanya melibatkan minoriti yang beragama Hindu dan Kristian?
Kerana pihak-pihak seperti di Malaysia telah pun menyatakan bantahan tentang kejadian-kejadian yang berlaku. Kedudukan Malaysia terserlah, kepimpinan kita terserlah, dihormati di pelosok dunia. Campur tangan PMX dapat menyelesaikan pelbagai masalah bencana perbalahan di seluruh pelosok dunia. Malahan ini telah diiktiraf oleh USA baru-baru ini dengan kehadiran the head of state daripada USA ke Malaysia. Kita lihat bahawa peranan ini juga telah diiktiraf oleh semua negeri-negeri dan negara-negara kecil...
Tuan Yang di-Pertua
Jelutong, ajukan soalan.
Tuan Sanisvara Nethaji Rayer a/l Rajaji - Jelutong
Ya, cumanya apakah, adakah kerajaan akan menyatakan pendirian kita kepada Kerajaan Bangladesh?
Sekurang-kurangnya menghantar protest note untuk menyatakan bahawa mereka perlu melindungi minoriti dalam negara mereka terutamanya minoriti Hindu dan Kristian yang kita lihat menjadi mangsa keganasan sejak kebelakangan ini. Terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua
Sila Menteri.
Dato Lukanisman bin Awang Sauni
Terima kasih Yang Berhormat Jelutong. Sememangnya selama ini Malaysia memang mengamalkan satu diplomasi yang berani. Namun, kita berhemah dalam mengeluarkan kenyataan-kenyataan dan juga tindakan-tindakan yang kita akan lakukan. Berkenaan tentang apa yang telah berlaku, setakat ini tiada tindakan yang kita lakukan walaupun pemantauan secara teliti telah pun dibuat.
Saya cukup yakin bahawa segala peruntukan ataupun segala kejadian- kejadian yang akan kita pantau ini akan kita berikan respons, melihat dalam konteks semasa. Itu adalah merupakan amalan yang diamalkan oleh Wisma Putra dan kita akan terus memperkukuhkan suara-suara minoriti-minoriti dan juga kita akan memperkuatkan apa itu, tindakan-tindakan yang wajar terhadap golongan-golongan yang tertindas ini.
Tan Sri Yang di-Pertua, beralih kepada situasi di Myanmar. Saya mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Sik dan juga Yang Berhormat Selayang yang telah membangkitkan pelaksanaan ASEAN Five-Point Consensus dalam pilihan raya Myanmar. Tan Sri Yang di-Pertua, pendirian Malaysia terhadap situasi di Myanmar kekal jelas dan konsisten. Dengan berteraskan Kemuafakatan Lima Perkara ASEAN atau dengan izin ASEAN Five-Point Consensus. Malaysia akan terus menyokong segala usaha ASEAN untuk menggesa penghentian keganasan, menggalakkan dialog politik yang inklusif serta memastikan penyampaian bantuan kemanusiaan tanpa halangan kepada semua komuniti yang terjejas.
Malaysia amat kesal bahawa pihak Junta masih enggan melaksanakan dengan izin, ASEAN Five-Point Consensus secara bermakna dan sepenuhnya walaupun krisis di Myanmar kini telah memasuki tahun kelima. Natijahnya, rakyat Myanmar masih dibelenggu penderitaan akibat konflik yang berpanjangan selain terikat dengan sekatan penyaluran bantuan kemanusiaan dari negara-negara luar.
Malaysia serta negara-negara jiran yang lain turut merasai kesan langsung akibat konflik ini.
Dato Lukanisman bin Awang Sauni
Ini termasuk peningkatan jumlah pelarian pelbagai etnik serta ancaman jenayah rentas sempadan seperti penyeludupan dadah, dan sindiket penipuan atas talian atau, dengan izin, online scam yang semakin membimbangkan. Sehubungan itu, para pemimpin ASEAN di Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 pada bulan Oktober 2025 telah sekali lagi memperakukan dengan izin, ASEAN Leaders’ Review and Decision on the Implementation of the Five-Point Consensus bagi memastikan komitmen berterusan ASEAN ke arah memudah cara penyelesaian damai yang berkekalan di Myanmar.
Buat julung kalinya dokumen ini turut menyentuh perihal pilihan raya di Myanmar, di mana para pemimpin ASEAN sebulat suara menekankan keperluan agar sebarang proses pilihan raya perlu dilaksana selaras dengan prinsip adil, bebas, telus dan berwibawa sebagaimana yang digariskan oleh undang-undang norma antarabangsa.
Tan Sri Yang di-Pertua, berhubungan isu pilihan raya di Myanmar pula, Malaysia berpendirian bahawa sebarang pilihan raya yang dilaksanakan haruslah berteraskan prinsip adil, bebas, telus dan terangkum selaras dengan aspirasi sebenar rakyat Myanmar. Isu ini telah turut dibincangkan pada sesi permukiman Menteri-menteri Luar Negeri ASEAN yang telah berlangsung di Cebu, Filipina pada minggu lalu. Dalam sesi tersebut, Malaysia sekali lagi menzahirkan kebimbangan mengenai perjalanan dan pengendalian pilihan raya tersebut yang didapati tidak menepati prinsip-prinsip yang ditetapkan.
Yang Berhormat Menteri Luar Negeri juga telah mencadangkan agar Menteri- menteri Luar Negeri ASEAN mengeluarkan satu kenyataan bersama mengenai pendirian ASEAN terhadap pilihan raya di Myanmar. Namun, tiada kesepakatan dicapai berikutan perbezaan pendirian dalam kalangan negara anggota ASEAN.
Justeru, mesyuarat telah bersetuju agar ASEAN meneruskan pemantauan rapi terhadap perkembangan pasca-pilihan raya tersebut.
Berkenaan tentang isu Palestin. Tan Sri Yang di-Pertua, saya mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Bangi yang membangkitkan isu berkaitan Board of Peace. Mengenai penubuhan Board of Peace, kerajaan mengambil maklum akan kegusaran Ahli-ahli Yang Berhormat bahawa badan ini tidak seharusnya menjadi pengganti kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Malaysia akan terus mempertahankan peranan PBB sebagai badan utama dunia dalam menjaga keamanan sejagat.
Sebagai makluman Ahli-ahli Yang Berhormat, terdapat 12 negara termasuk Jerman, Perancis, Itali, Sepanyol, juga United Kingdom telah menolak untuk menyertai Board of Peace. Sebagai contoh, Perancis telah menolak secara rasmi penubuhan badan ini kerana ia dianggap mencabar kerangka pelbagai hala Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu serta mengenakan yuran penyertaan sebanyak USD1 bilion yang tidak munasabah.
Selain itu, Ireland dan Sepanyol turut menyatakan kesukaran untuk menyertai BoP kerana ia dilihat sekadar menambah kerangka kepada mandat sedia ada yang ada pada PBB. Malah Republik, Rakyat China dan Rusia turut mengkritik inisiatif ini sebagai satu strategi untuk mengenepikan peranan Majlis Keselamatan PBB melalui platform yang dikawal secara mutlak.
Saya ingin menegaskan sekali lagi bahawa isu Palestin ini bukanlah semata- mata isu agama, ia adalah isu kemanusiaan, isu hak asasi manusia dan isu hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri dan hak untuk kembali ke tanah air mereka serta menubuh sebuah negara yang berdaulat berdasarkan sempadan pra- 1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.
Berkenaan tentang kegagalan tindakan sedunia peranan Mahkamah Keadilan Antarabangsa ICJ dan juga diplomasi Malaysia. Tan Sri Yang di-Pertua, saya mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Sik yang membangkitkan isu berkaitan kegagalan tindakan sedunia peranan Mahkamah Keadilan Antarabangsa dan diplomasi Malaysia. Kerajaan berkongsi kekecewaan terhadap ketidakmampuan komuniti antarabangsa menghentikan pembunuhan berterusan di Gaza meskipun Mahkamah Keadilan Antarabangsa, ICJ telah mengeluarkan perintah interim.
Ketidakpatuhan rejim Zionis terhadap keputusan mahkamah tertinggi dunia ini adalah satu penghinaan besar kepada sistem perundangan antarabangsa.
Menyentuh soal sidang di Sharm el-Sheikh pada Oktober 2025, ketiadaan Malaysia di sana bukanlah satu kegagalan diplomasi pihak penganjur. Amerika Syarikat-Mesir hanya menjemput negara-negara yang memberikan sokongan penuh dan serta merta terhadap pelan damai Presiden Trump.
Dalam menjelaskan pendirian kita, Malaysia memilih untuk tidak memberikan sokongan serta merta kerana Malaysia mengambil pendekatan untuk menilai pelan tersebut terlebih dahulu bagi menjamin hak mutlak rakyat Palestin termasuk penamatan penjajahan dan penubuhan negara merdeka.
Dr. Hajah Halimah Ali - Kapar
[Bangun]
Datoʼ Lukanisman bin Awang Sauni
Malaysia tidak akan menggadaikan pendirian berprinsip semata-mata untuk berada di meja rundingan yang tidak menjaminkan keadilan sebenar bagi Palestin dan rakyat.
Setiap saluran, sama ada PBB, OIC dan ASEAN, akan kita manfaatkan bagi memastikan suara rakyat Palestin sentiasa didengari di pentas antarabangsa sekali gus mendorong kepada penyelesaian konflik dengan segera. Malaysia akan kekal teguh bersama Palestin kerana perjuangan mereka adalah perjuangan kita dan kemenangan mereka menjadi kemenangan bagi kemanusiaan. Yang Berhormat Kapar.
Tuan Yang di-Pertua
Silakan.
Dr. Hajah Halimah Ali - Kapar
Terima kasih, Speaker. Terima kasih, Timbalan Menteri. Saya rasa Timbalan Menteri pun tahu ceasefire yang dikatakan telah diwujudkan itu sekarang ini, tetapi setiap hari IDF masih menyerang orang di Palestin. Adakah kerajaan berhajat untuk memberikan satu teguran mengenai ceasefire yang not ceasefire ini kepada pihak Zionis Israel? Terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua
Sila, Menteri.
Datoʼ Lukanisman bin Awang Sauni
Terima kasih, Yang Berhormat Kapar berkenaan tentang isu-isu yang berkaitan yang berlaku di Palestin, berkenaan tentang ceasefire yang berlaku yang dianggapkan tidak seperti ceasefire.
Kita secara konsisten sebagai sebuah negara yang menyokong dan juga menyokong kepada perjuangan Palestin ini sentiasa menggunakan kaedah platform yang terbaik bagi menyalurkan teguran-teguran dan juga lontaran kepada tindakan- tindakan yang berlaku kepada Palestin.
Kita akan ulas lagi berkenaan tentang isu ini dan juga selain daripada itu, memang itulah merupakan tindakan yang kita ambil. Tidak terlibat di dalam mana- mana platform yang dicadangkan ketika ini di bawah kerangka pendamaian yang dikeluarkan pelan damai Presiden Trump pada masa ini.
Tan Sri Yang di-Pertua, saya mengucapkan juga terima kasih kepada Yang Berhormat Kuantan yang menggesakan Malaysia meneruskan misi bantuan kemanusiaan terutamanya dalam membantu krisis kesihatan di Gaza. Secara keseluruhan, melalui akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP) kerajaan telah menyalurkan dana berjumlah RM86 juta sejak 7 Oktober 2023 bagi pelbagai misi kemanusiaan dan kebajikan rakyat Palestin termasuk inisiatif Ops Ihsan.
Malaysia juga telah bekerjasama dengan rapat dengan negara-negara lain seperti Mesir dan Jordan serta NGO antarabangsa melalui misi airdrop dan jambatan udara ataupun airbridge, dengan izin. Semua ini dilaksanakan bagi memastikan bantuan sampai kepada mereka yang memerlukan di Gaza. Kerajaan juga prihatin dengan laporan mengenai risiko penyakit berjangkit dalam kalangan kanak-kanak yang terlepas imunisasi. Berhubung dengan sokongan perubatan, Malaysia telah menyalurkan bantuan kepada pelbagai badan antarabangsa bagi memastikan kelangsungan perkhidmatan kesihatan di Gaza dan juga di Tebing Barat.
Tan Sri Yang di-Pertua, saya juga mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Selayang, Yang Berhormat Bangi dan juga Yang Berhormat Kuantan dan Yang Berhormat Marang atas keprihatinan mengambil maklum akan suara kebimbangan mengenai tindakan Amerika Syarikat ke atas Venezuela penahanan Presiden Nicolas Maduro.
Malaysia sememangnya menentang secara— sebarang campur tangan asing dalam hal ehwal dalaman negara-negara lain termasuk ancaman dan penggunaan kekerasan secara unilateral. Tindakan Amerika Syarikat kepada Venezuela jelas sekali melanggar undang-undang antarabangsa dan merupakan penggunaan kekerasan yang tidak sah terhadap kedaulatan sebuah negara berdaulat.
Pendirian Malaysia, ini telah dizahirkan melalui satu kenyataan akhbar Kementerian Luar Negeri pada 4 Januari 2026 berhubung isu tersebut di samping kenyataan yang telah dimuat naik di platform media sosial rasmi Yang Amat Berhormat Perdana Menteri pada 4 Januari 2026 pada hari Ahad. Malaysia menegaskan bahawa Presiden Nicolas Maduro dan isterinya hendaklah dibebaskan selaras norma undang-undang antarabangsa.
Penyingkiran secara paksa seorang ketua kerajaan yang sedang pemerintah melalui campur tangan kuasa luar menetapkan satu duluan presiden yang amat berbahaya dan menghakis prinsip asas hubungan antarabangsa, melemahkan penghormatan terhadap kedaulatan negara serta meruntuhkan kerangka perundangan yang menjadi asas kepada ketertiban dunia.
Datoʼ Lukanisman bin Awang Sauni
Tan Sri Yang di-Pertua, berkenaan kenyataan Amerika Syarikat yang menzahirkan hasrat untuk menguasai Greenland serta wilayah di bawah kedaulatan Denmark, Malaysia sekali lagi ingin menegaskan pendirian bahawa sebarang isu kedaulatan sebuah wilayah hendaklah diselesaikan secara aman melalui dialog dan selaras dengan undang-undang antarabangsa tanpa unsur paksaan dan tekanan unilateral.
[Timbalan Yang di-Pertua (Dato’ Dr. Ramli bin Dato' Mohd Nor) **mempengerusikan Mesyuarat****] Malaysia juga berdiri teguh pada prinsip bahawa keutuhan wilayah adalah mutlak meskipun faktor geografi memisahkan Malaysia dan Greenland, situasi ini membawa implikasi luas terhadap penghormatan kedaulatan dan pematuhan undang-undang antarabangsa. Ia menjadikan peringatan kepada masyarakat antarabangsa untuk terus menjunjung piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu
(PBB) dan memperkasakan pendekatan pelbagai hala dalam mendepani isu sejagat.
Dato’ Yang di-Pertua, saya mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Selayang atas keprihatinan dan kebimbangan mengenai hasrat Amerika Syarikat untuk mengamalkan semula prinsip Doktrin Monroe. Penekanan terhadap penguasaan Hemisfera Barat, penolakan kehadiran kuasa luar hemisfera serta pengenalan kepada Trump Corollary telah menimbulkan persepsi bahawa pendekatan dasar luar Amerika Syarikat kini lebih berteraskan pengaruh dan kuasa berbanding komitmen kepada norma multilateralisme dan undang-undang antarabangsa.
Perkembangan ini secara langsung menyumbang kepada kegusaran terhadap ketidak tentuan dalam sistem antarabangsa. Dalam menangani cabaran ini, Wisma Putra mengambil pendekatan yang pragmatik seperti berikut.
Pertama, Malaysia mengekalkan hubungan diplomatik yang neutral, berprinsip dan berasas, saling menghormati kepada semua kuasa besar termasuk Amerika Syarikat tanpa menjejaskan kebebasan kemandirian dasar luar negara.
Pendekatan Malaysia kekal konstruktif dan berhemah dalam menyuarakan pendirian serta mempertahankan kepentingan negara melalui saluran diplomasi.
Kedua, Malaysia terus memainkan peranan dalam platform pelbagai hala seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, ASEAN, Pertubuhan Kerjasama Islam
(OIC) dan Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) untuk memastikan pematuhan kepada undang-undang antarabangsa. Malaysia percaya bahawa suara kolektif negara-negara membangun adalah penting sebagai pengimbang kepada kecenderungan unilateralisme dalam sistem antarabangsa.
Ketiga, Malaysia memperkukuhkan kerjasama solidariti serantau melalui ASEAN dengan menitikberatkan kepentingan prinsip keputusan ASEAN ataupun ASEAN centrality consensus dan kesepaduan serantau bagi memastikan rantau ini dipelihara daripada ancaman politik luaran. Malaysia terus menyokong usaha reformasi tadbir urus global termasuk meningkatkan keberkesanan institusi antarabangsa agar lebih adil, inklusif dan relevan dengan realiti semasa sekali gus mengurangkan ruang kepada tindakan unilateral yang melemahkan sistem antarabangsa.
Kesimpulannya, walaupun dunia kini melalui fasa ketidak tentuan yang serius, kerajaan berpendirian bahawa penyelesaian terhadap cabaran ini bukan dengan menerima hakikat bahawa dengan izin, might is right atau kekuatan adalah kebenaran, sebaliknya melalui usaha memperkukuhkan komitmen kolektif terhadap undang-undang antarabangsa multilateralisme dan diplomasi dua hala. Malaysia akan terus memainkan peranan sebagai sebuah negara yang berprinsip, konsisten, mempertahankan undang-undang antarabangsa serta komited dalam memperjuangkan keamanan dan kestabilan global.
Dato’ Yang di-Pertua, saya juga mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Saratok yang membangkitkan isu berkaitan Laut China Selatan.
Mengenai keberkesanan Kod Tatalaku di Laut China Selatan dengan izin, Code of Conduct in The South China Sea (CoC), untuk makluman Dewan yang mulia ini, CoC dilihat sebagai satu kod tatacara untuk mengelak konflik dan ketegangan di Laut China Selatan.
Ia adalah tanpa prejudis terhadap tuntutan wilayah dan maritim negara masing-masing. CoC bukanlah dokumen untuk menyelesaikan pertikaian mengenai tuntutan maritim antara pihak-pihak berkaitan. Pertikaian maritim seharusnya diselesaikan oleh pihak-pihak berkenaan melalui mekanisme yang sedia ada sepertimana yang diperuntukan di bawah undang-undang antarabangsa termasuk dengan izin, United Nations Convention on the Law of the Sea (UNCLOS) 1982.
Dato’ Yang di-Pertua, Malaysia merupakan negara penyelaras hubungan dialog ASEAN-Republik China untuk tempoh tiga tahun bermula dari Ogos 2024 hingga Julai 2027. Dalam tempoh ini, Malaysia mempengerusikan bersama dengan Republik Rakyat China dan Malaysia memainkan peranan yang amat penting dan signifikan dalam rundingan CoC...
Tuan Wan Ahmad Fayhsal bin Wan Ahmad Kamal - Machang
[Bangun]
Dato Lukanisman bin Awang Sauni
Malaysia dan negara-negara anggota ASEAN komited dalam rundingan dan Malaysia sedang mengambil langkah mempertingkatkan proses rundingan CoC supaya CoC yang substantif dan efektif dapat di muktamadkan sebagai mana tempoh yang diharapkan tahun ini.
Dato’ Yang di-Pertua, seterusnya Malaysia tegas menolak dakwaan dan tuntutan berlebihan atau dengan izin, excessive plan Republik Rakyat China yang mendasarkan tuntutan Peta 9-Garis atau dengan izin, Nine-Dash Line map atau mana-mana peta yang diterbitkan oleh Kerajaan Republik Rakyat China yang meliputi kawasan maritim Malaysia.
Walau bagaimanapun, ya...
Tuan Wan Ahmad Fayhsal bin Wan Ahmad Kamal
Tuan Menteri mohon mencelah. Apakah Wisma Putra mendapat sebarang maklum balas ataupun nota bantahan ataupun pandangan daripada Beijing berhubung dengan perjanjian timbal balik Amerika-Malaysia yang dimeterai baru-baru ini? Kami ingin update daripada Wisma.
Dato Lukanisman bin Awang Sauni
Terima kasih Yang Berhormat. Saya akan datang untuk menjawab soalan tersebut. So, kita teruskan dulu jawapan Titah Diraja ini.
Berkenaan— walau apa gangguan terhadap sebarang aktiviti dalam Zon Maritim Malaysia, kerajaan tetap tegas dan komited untuk mempertahankan kedaulatan, hak kedaulatan kepentingan Malaysia ke dalam kawasan maritim di Laut China Selatan seperti yang terkandung di dalam Peta Baharu Malaysia 1979.
Malaysia berpendirian bahawa aktiviti yang dilakukan di dalam zon maritimnya termasuk aktiviti perikanan, eksplorasi dan eksploitasi hidrokarbon adalah hak kedaulatan negara sebagaimana yang diperuntukkan oleh peruntukkan undang-undang antarabangsa termasuk UNCLOS 1982 dan aktiviti-aktiviti tersebut sedang dijalankan. Mengenai rondaan di perairan maritim Malaysia, Kerajaan Malaysia meneruskan Majlis Keselamatan Negara, Tentera Laut Diraja Malaysia dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia sentiasa memberikan perhatian serius terhadap keselamatan di kawasan perairan negara.
Aktiviti-aktiviti yang dijalankan melalui rondaan, pengawasan dan pemantauan dan penguatkuasaan di dalam kawasan maritim Malaysia adalah bagi mempamerkan kehadiran atau dengan izin, show of presence di kawasan tersebut.
Pelaksanaan rondaan berkala dan operasi oleh pasukan keselamatan negara bertujuan untuk memastikan keselamatan aktiviti-aktiviti ekonomi negara seperti aktiviti perikanan, eksplorasi dan eksploitasi hidrokarbon di kawasan tersebut sentiasa terpelihara sepanjang masa di samping mempertahankan kedaulatan negara.
Berkenaan tentang isu keselamatan pencerobohan kapal China Coast Guard di Gugusan Beting Patinggi Ali, kerajaan sentiasa mengambil berat akan keselamatan perairan di Laut China Selatan termasuk di kawasan Beting Petinggi Ali. Kerajaan sentiasa memantau rapat sebarang perkembangan dan situasi semasa di kawasan keterlibatan dan kerjasama pelbagai kementerian dan agensi berkaitan bagi memastikan isu tersebut ditangani dengan segera dan efisien tanpa menimbulkan sebarang ketegangan di lapangan.
Saya ingin mengambil kesempatan ini juga untuk memaklumkan Dewan yang mulia ini, di bawah nota— bahawa Nota Diplomatik merupakan saluran komunikasi rasmi tahap tertinggi di antara kedua-dua buah negara. Dalam memastikan kedaulatan dan hak kedaulatan negara terpelihara, Kementerian Luar Negara secara konsisten telah akan— telah dan akan mengemukakan Nota Bantahan Diplomatik sekiranya kapal dan aset-aset milik kerajaan mana-mana negara didapati mencerobohi perairan negara.
Saya juga akan menjawab berkenaan isu berkaitan rundingan persempadanan wilayah antara Malaysia dan juga Indonesia. Setakat ini, tiada protes yang dimaklumkan oleh pihak China dan juga pihak VT dimaklumkan telah pun melakukan sesi libat urus dan bagi menjelaskan isu-isu berkaitan tentang ART dan kita juga akan menjawab isu ini di dalam isu yang telah dibangkitkan oleh Yang Berhormat Marang.
Berkenaan tentang isu Malaysia-Indonesia. Sebagaimana yang dibangkitkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri telah mengadakan sesi penerangan berkaitan penjajaran sempadan Malaysia-Indonesia yang melibatkan kawasan outstanding boundary problem (OBP) pada hari semalam.
Untuk makluman Dewan yang mulia ini, bagi kawasan-kawasan bersempadan yang belum dimuktamadkan dengan negara-negara jiran termasuk Republik Indonesia, pihak kerajaan kekal komited dalam melaksanakan rundingan bersama-sama negara yang terlibat ini dengan tujuan menghasilkan penyelesaian yang dapat diterima oleh kedua-dua pihak dengan izin, win-win solution. Kementerian Luar Negeri berkerjasama rapat dengan kementerian dan agensi yang berkaitan serta juga kerajaan negeri yang berkaitan melalui pendekatan dengan izin, whole-of-government dalam melaksanakan rundingan negara jiran bagi mencari penyelesaian yang telah dipersetujui.
Dato Lukanisman bin Awang Sauni
Dato’ Yang di-Pertua, demikianlah penjelasan saya mengenai pelbagai isu yang dibangkitkan oleh Ahli-ahli Yang Berhormat sepanjang sesi perbahasan Titah Diraja kali ini. Kementerian Luar Negeri menyambut baik dan menjunjung Titah Diraja Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong khusus dalam memperkasakan hubungan antarabangsa dan juga menjaga kedaulatan negara.
Yang Amat Berhormat Perdana Menteri juga menekankan bahawa kejayaan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 harus menjadi pemangkin untuk meningkatkan tadbir urus dan juga hasil rakyat. Justeru, Kementerian Luar Negeri akan terus memperkukuhkan usaha-usaha diplomasi, memperluaskan jaringan strategik serta memastikan kebajikan rakyat Malaysia di luar negara sentiasa terpelihara. Sekian, terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Terima kasih, Yang Berhormat Menteri. Berikutnya, dipersilakan kementerian selanjutnya.
Silakan Yang Berhormat Menteri.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri - Datuk Seri Johari bin Abdul Ghani
Terima kasih, Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua. Saya merakam penghargaan dan terima kasih kepada semua Ahli-ahli Yang Berhormat yang telah berbahas dan mengambil bahagian dalam perbahasan Usul Menjunjung Kasih ke atas Titah Kebawah Duli Yang Berhormat Mulia Seri Paduka Baginda Yang di- Pertuan Agong khususnya kepada Yang Berhormat Larut, Yang Berhormat Gerik, Yang Berhormat Parit, Yang Berhormat Masjid Tanah, Yang Berhormat Pagoh, Yang Berhormat Bagan, Yang Berhormat Batu Gajah, Yang Berhormat Kubang Kerian, Yang Berhormat Padang Serai, Yang Berhormat Simpang Renggam.
Untuk pengetahuan Yang di-Pertua, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri ingin juga mengucapkan setinggi penghargaan ke atas segala pandangan dan cadangan yang telah dibangkitkan sepanjang tempoh perbahasan berlangsung.
Tuan Yang di-Pertua― YB Simpang Renggam ada? Tuan Yang di-Pertua, YB Simpang Renggam ‘tak ada, ‘nak cakap ‘ke tak?
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Yang Berhormat Menteri, jika tidak ada, saya serahkan kepada budi bicara Menteri...
Datuk Seri Johari bin Abdul Ghani
Okey.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
...’Nak jawab ataupun ‘nak bercakap.
Datuk Seri Johari bin Abdul Ghani
Sebab, saya panjang ini. Jadi, saya ingat kalau dia seorang saja yang bahaskan perkara ini, nanti saya bagi dia jawapan bertulislah.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Baik, Yang Berhormat Menteri.
Datuk Seri Johari bin Abdul Ghani
Yang Berhormat Kubang Kerian, Yang Berhormat Padang Serai. Ada? Ada. Oh, Padang Serai ada. Okey.
Tuan Yang di-Pertua, untuk makluman Yang Berhormat, kerajaan telah menetapkan sasaran pemasangan 10,000 unit kemudahan pengecas EV awam menjelang akhir tahun 2025 yang terdiri daripada 1,500 unit pengecas pantas jenis DC dan 8,500 unit pengecas AC.
Sehingga 31 Disember 2025, sebanyak 5,624 unit pengecas EV awam telah dipasang di seluruh negara bersamaan 56 peratus daripada sasaran keseluruhan.
Daripada jumlah ini, 1,923 unit iaitu 128 peratus daripada sasaran 1,500 unit merupakan pengecas jenis DC yang telah melebihi sasaran asal. Manakala untuk pengecas jenis AC, hanya 3,701 sahaja unit telah dipasang iaitu hanya 40 peratus daripada sasaran 4,500 unit.
Walaupun jumlah keseluruhan pengecas masih belum mencapai sasaran, pencapaian pengecas jenis DC yang melepasi sasaran mencerminkan keperluan untuk memberi fokus terhadap pemasangan kemudahan pengecas EV awam berbentuk pengecas pantas jenis DC. Hal ini selari dengan maklum balas industri yang menunjukkan bahawa ketersediaan pengecas pantas merupakan faktor utama yang mempengaruhi keyakinan pengguna untuk beralih daripada kenderaan elektrik.
Pada masa yang sama, kerajaan juga ingin menggalakkan pemilik kenderaan elektrik untuk memasang pengecas EV di kediaman masing-masing. Secara lazimnya, kos pengecas kenderaan EV di rumah adalah jauh lebih murah berbanding dengan kos pengecas pantas jenis DC.
Sebagai contoh, pengecas EV awam berfungsi sebagai pelengkap khususnya—sebagai contoh, kos mengecas bagi EV Proton e.MAS 7 Premium yang mempunyai kapasiti bateri 60.22 kWh di pengecas pantas DC awam adalah kira-kira RM90. Kalau kita ada kereta Proton e.MAS 7 Premium, kalau kita pergi gunakan tempat awam, kita cas, dia kena lebih kurang dalam RM90. Berbanding dengan kos mengecas di rumah dengan julat harga lebih kurang in between RM13 ke RM34 bergantung kepada tarif TNB kepada rumah tersebut. Manakala pengecas EV awam berfungsi sebagai pelengkap khususnya bagi perjalanan jarak jauh.
Melalui pendekatan berfasa, perancangan berasaskan permintaan sebenar serta kerjasama erat antara kerajaan dan pihak industri, pembangunan infrastruktur pengecas EV akan terus diperkukuhkan secara mampan bagi menyokong pertumbuhan kenderaan elektrik dan peralihan negara ke arah mobiliti rendah karbon.
Datuk Haji Idris bin Haji Ahmad - Bagan Serai
Tuan Speaker, minta sikit berkenaan dengan...
Datuk Seri Johari bin Abdul Ghani
Ya.
Datuk Haji Idris bin Haji Ahmad - Bagan Serai
Terima kasih kepada Speaker. Terima kasih kepada Menterilah.
Berbalik kepada soal tarif yang dikenakan pengecas awam, terutamanya pengecas laju. Memang agak ketara, hampir dekat tiga kali ganda. Soalannya oleh kerana kita kerajaan menggalakkan menggunakan EV, tiba-tiba kadang-kadang menjadi kekangan balik, kita jadi trauma juga. Terutama apabila macam kita travel jauh dan sebagainya, sudah tentu kita nak menggunakan hat yang awam punya, tapi pengecas-pengecas itu agak tinggi sikit berbanding dengan hat kita di rumah tadi.
Jadi, apa perancangan daripada kerajaan untuk pastikan supaya sekurang- kurangnya taklah sampai RM90?
Dato’ Azman bin Nasrudin - Padang Serai
[Bangun]
Datuk Haji Idris bin Haji Ahmad - Bagan Serai
Mungkin kalau kata, kalau kita cas di rumah dalam RM30, mungkin RM60 boleh tahan sikitlah. Ini agak sampai tiga kali ganda. Terima kasih kepada Speaker.
Dato’ Azman bin Nasrudin - Padang Serai
Boleh? Terima kasih, Yang Berhormat Menteri. Terima kasih atas penerangan yang diberikan oleh Menteri tentang pengecas EV dengan DC dan juga AC ini. Saya bukan pengguna EV tapi ada niat untuk menggunakan EV, tetapi apabila aduan diberikan kepada saya oleh pengguna EV khususnya pengguna Tesla yang di utara, pengguna Tesla di utara sangat kekurangan pengecas DC di kawasan negeri Kedah dan Perlis. Ada lebih kurang 2,500 ke atas pengguna Tesla dan juga ramai lagi pengguna EV yang lain.
Jadi, satu lagi adalah tidak ada pengecas AC ataupun DC di sepanjang laluan Gerik sampai ke Jeli. Ini juga menimbulkan masalah sebab antara janji kerajaan ialah untuk membina setiap 100 kilometer akan ada pengecas AC ataupun DC. Ini yang menjadi isu kepada pengguna-pengguna EV. Terima kasih.
Datuk Seri Johari bin Abdul Ghani
Saya nak maklum kepada Bagan Serai, betullah dia punya caj itu dia RM90 untuk DC dan dianggarkan RM13 ke RM34 untuk AC, tetapi Yang Berhormat, saya ambil maklum, tapi pasal benda ini benda baru, ‘tak banyak lagi orang ada, jadi dia kurang competition, tapi cuma saya ‘nak maklumkan, kalau Yang Berhormat ada kereta yang watt dia adalah 40kW, kalau kita cas pakai DC, lebih kurang dalam 30 to 45 minit selesai dan dia boleh pergi bergantung kepada 300 kilometer atau tidak, tapi kalau AC, kalau kita ‘nak penuh macam mana kita buat dengan DC, dia mengambil masa lebih kurang enam jam. Jadi, itu beza dia. Sebab itu cepat, dia bayar RM90.
Ya, saya setuju, pada masa akan datang, lebih banyak kereta EV ini secara automatik akan lebih banyak lagi orang menyediakan fasiliti untuk cas dia. Macam kita punya petrol station. Makin lama ramai orang rely on petrol, maka dia bertambah dia punya supply. Jadi, EV ini baru. Setakat hari ini dalam negara kita dianggarkan lebih kurang dalam 45,000 kereta yang mempunyai EV, yang memakai kereta yang bersifat EV.
Yang kedua, Yang Berhormat sebut tak ada pengecas dekat Gerik. Jadi, saya ambil maklum, Yang Berhormat.
Datuk Seri Johari bin Abdul Ghani
Untuk menjawab soalan Yang Berhormat ini adalah stesen pengecas elektrik di Wilayah Utara. Kemudahan pengecas EV telah dibangunkan di 21 buah lokasi utama melibatkan 45 unit pengecas EV jenis DC yang dikendalikan oleh pelbagai Charging Point Operator atau CPO seperti TNB Electron, Gentari, Shell Recharge dan Jom Charge dengan kapasiti antara 20 kilowatt hingga 240 kilowatt.
Bagi laluan Persekutuan Gerik dan Jeli pula terdapat tiga petak pengecas EV jenis DC. DC ini dia cepat. Telah disediakan di Petron Batu Melintang, Jeli dengan kapasiti 240 kilowatt. That mean itu kira the maximum yang terletak kira-kira 70 kilometer dari Tasik Banding dan berfungsi sebagai kemudahan pengecas EV terdekat bagi laluan tersebut. Pada masa ini, permintaan pengecasan bagi kenderaan elektrik di laluan ini masih rendah, bersifat bermusim bila cuti atau perayaan ramai orang pergi, itu bersifat bermusim.
Justeru, pembangunan tambahan perlu mengambil kira faktor permintaan kebolehsanaan dan kelestarian operasi. Nanti itu adalah salah satu daripada prasyarat pada masa akan datang, mana-mana kereta yang diimport secara CBU, kita nak bagaimana mereka juga boleh turut serta untuk menyediakan kemudahan ini. Maka apabila siapa ada banyak kemudahan ini, maka dia akan lebih dapat meningkatkan kita punya kemudahan untuk menggunakan EV dalam negara kita.
Untuk makluman YB Kubang Kerian dan juga Padang Serai, di kawasan Parlimen masing-masing juga telah tersedia kemudahan EV. Di kawasan Padang Serai khususnya di sekitar Kulim dan sekitar Kubang Kerian, masing-masing terdapat lebih daripada 15 unit pengecas EV awam yang telah beroperasi dan menampung keperluan pengguna setempat.
Jadi kalau ada apa-apa complain tak ada, beritahu lah. Nanti kita maklumkan kepada lima operator yang melaksanakan EV ini.
Soalan seterusnya mengenai penguasaan syarikat asing dalam industri besi dan keluli. Ini ada satu sahaja pembahas, Yang Berhormat Bagan. Yang Berhormat Bagan tak ada. Jadi, saya tak jawab.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Baik.
Datuk Seri Johari bin Abdul Ghani
Penyertaan negara dalam Perjanjian Perdagangan Antarabangsa. YB Batu Gajah. Tak ada?
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
‘Tak ada.
Datuk Seri Johari bin Abdul Ghani
Tak ada, saya skip. Perjanjian Perdagangan Timbal Balas ataupun ART. Ini ada ramai Yang Berhormat membahas soal ini.
Tuan Yang di-Pertua, YB Larut, tak ada. YB Gerik, tak ada. YB Parit, tak ada.
YB Masjid Tanah, tak ada. YB Pagoh, ‘tak ada, tapi yang ini saya nak jawab untuk pengetahuan semua. Kesemua YB ini telah membangkitkan isu mengenai Perjanjian Perdagangan Timbal Balas atau ART: Agreement on Reciprocal Tariff, dan bertanya perkara-perkara berkenaan rundingan semula perjanjian ini.
Untuk maklumat Yang Berhormat, ART ini belum diratifikasi dan belum berkuat kuasa, tetapi kerana dia berbentuk unilateral, maka 19 peratus yang dikenakan kepada negara kita ini, kita tidak ada hak untuk menolak. Sebab itu adalah bersifat unilateral. Kalau kita tak sign ART itu, kemungkinan besar kita akan juga kena tarif yang lebih tinggi, tetapi ART ini apabila kita sign, dia ada satu proses ratifikasi.
Di sinilah apabila saya berpeluang untuk melihat benda ini secara keseluruhan maka perjanjian ini hanya akan berkuat kuasa selepas kita diberi notis oleh pihak Amerika untuk ratifikasi. Maka daripada situ kita akan susun dan kita akan berbincang. Kemudian apabila kita dah bersetuju, baru dia jadi efektif selepas 60 hari.
Jadi setakat hari ini, Amerika tidak datang untuk meratifikasi dengan kita kerana dia tengah sibuk nak suruh ASEAN ini, member ini untuk sign. Jadi untuk makluman Yang Berhormat, untuk makluman Yang di-Pertua, kalau kita tak engage dengan US untuk buat ratification, itu yang berlaku di Laos, dia kena straight away 40 peratus, Myanmar 40 peratus, kemudian di Brunei 25 peratus straight. Kemudian di Korea Selatan baru ini, Trump setuju 15 peratus, tapi dia tak mahu sign agreement, dia jadikan 25 peratus.
Kita ada masalah. Sebab apa masalah? Kalau kita mengelakkan perbincangan dengan US ini, dia akan menyebabkan kita berdepan dalam keadaan bahawa kita mempunyai eksport kepada Amerika ini 233 bilion. Jadi kalau 230 bilion macam-macam produk kita eksport dekat Amerika ini. Jadi, kita takut kalau kita tidak dan kita dikenakan 40 peratus dan orang lain dapat rendah daripada kita, maka competitor, competitor kita ini akan menjadi dalam keadaan yang lebih advantage daripada kita, tapi today kita sign 19 peratus, perjalanan eksport kita macam biasa sebab yang lain ini semua dia ‘tak buat lagi.
Jadi yang ini bagi saya, kita masih lagi— saya sedang membuat suatu penelitian. Kemudian saya telah maklumkan kepada Ketua Pembangkang, masa saya jawab soalan Ketua Pembangkang dan juga soalan daripada Putrajaya baru- baru ini, dan saya beri komitmen saya bahawa sebaik saja saya selesai melihat ini dan apa-apa cadangan perubahan yang setelah kita di pihak MITI dan juga di Kabinet.
Maka, saya akan membawa perbincangan dengan kaukus yang telah diwujudkan di Parlimen ini. Kita akan panggil semua kaukus ini dan kemudian ada juga mereka yang masuk dalam kaukus ini, ada juga yang berminat tapi dia tidak ada dalam kaukus, maka saya akan jemput secara individu.
Contohnya soalan-soalan yang telah dibangkitkan oleh mana-mana wakil rakyat atau Yang Berhormat dalam Dewan ini, contoh macam Larut, Putrajaya dia ada. Macam-macam, fasal dia memang ada dalam kaukus itu. Maka, kita akan ada masa yang panjang. Kita akan go through artikel ini ada tujuh artikel. Artikel satu, dua, tiga, empat, lima, enam, tujuh. Jadi, every detail kita akan very transparent, tetapi dalam konteks saat ini. Bila saya melihat perjanjian ini. Lebih direction dia kepada economy activities. Dia tidak akan menyentuh dari segi kedaulatan negara.
Sebab dalam negosiasi dengan US itu, kita sentiasa menekankan bahawa dia tidak boleh menyentuh Perlembagaan Persekutuan. Anything yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, kita tak boleh sentuh. Kalau dia tersentuh, maka kita kena datang di sini. Sebab itu saya akan buat engagement dengan kaukus ini.
Insya-Allah kalau tidak, kalau saya boleh selesai ini semua ini, mungkin bulan puasa, pertengahan bulan puasa. Kita boleh panggil. Kalau dia orang ‘nak selepas raya pun boleh. Sebab kita tidak ada pressure sekarang ini daripada US kerana kita telah menjalankan aktiviti kita macam biasa.
Untuk yang lain ini saya ingat fasal Yang Berhormat yang tanya spesifik itu pun tak ada. Jadi, cuma saya ‘nak beritahu bahawa ART ini telah ditangani selaras dengan undang-undang negara. Sejak awal, MITI telah melibatkan kementerian- kementerian dan agensi yang berkaitan termasuk Jabatan Peguam Negara dalam proses rundingan tersebut. Hasil rundingan ini, Kementerian-kementerian yang terlibat, kita panggil bagi feedback dalam kementerian-kementerian ini termasuk Kementerian Perladangan dan Komoditi, KLN, MITI, KPKM, MINDEF, KDN, MOF kerana mewakili banyak GLC-GLC kita.
Jadi, perbincangan lebih kepada penumpuan iaitu secara kolektif dalam Kabinet menumpukan ia berdasarkan kepentingan ekonomi sahaja. Ia tidak melibatkan apa-apa politik. Sebab itu, kita masih menerima pelabur-pelabur daripada negara selain daripada US yang datang macam proses macam biasa. Cuma, US ini lebih ‘nak mementingkan supaya tidak ada diskriminasi yang dikenakan kepada mereka akibat daripada ART ini. Itu sahaja.
Jadi, Yang Berhormat...
[Dicelah]
Dato’ Haji Mohd Suhaimi bin Haji Abdullah - Langkawi
Mohon mencelah Yang Berhormat. Terima kasih Dato’ Yang di-Pertua. Selain daripada kaukus, Yang Berhormat, apakah perlu Yang Berhormat juga memanggil Select Committee yang berkenaan sahaja? Terima kasih Dato’ Yang di-Pertua.
Datuk Seri Johari bin Abdul Ghani
Kalau Select Committee itu panggil, saya pun boleh datang untuk kita bincang, tapi dalam Select Committee ini, kita akan ambil masa begitu panjang. Sebab saya nak go through every clause yang apa pandangan kerajaan, Kabinet dan Menteri-Menteri dalam setiap kementerian.
Kemudian you all tengok. Sebab kita pun very concern. Kita pun tak nak apa benda kita bersetuju dan tak bersetuju ini dia melibatkan kedaulatan negara.
Datuk Seri Johari bin Abdul Ghani
As long as dia tidak melibatkan kedaulatan negara, dia bersifat ekonomi, maka kita juga ada pengalaman untuk berbincang ini. Iaitu, kita ada 17 FTA Agreement yang pernah kita sign. Sembilan adalah yang berbentuk multilateral, lapan berbentuk bilateral, tetapi yang ini berbentuk unilateral. Bermakna dia impose 19 persen yang itu kita tak boleh buat apalah macam kitalah.
Macam kita kalau nak kenakan sales tax, ada barangan kita kenakan lima persen, ada barangan kita 10 persen, itu kita punya right untuk impose, tetapi bila kita dah ada dalam agreement, yang kita ada sesuatu benda yang kita dah agreed, maka kita nak tukar tak boleh. Itu pandangan saya. Insya-Allah kalau mana ada sign incomplete panggil, nanti saya akan datang.
Kemudian, penilaian-penilaian ini memberi penelitian terhadap hasil daripada akses pasaran berikutan pengurangan tarif ini ialah— penentuan tarif ini ialah kesan yang akan kena kepada negara, apa yang menyebabkan terjejas kita punya ekonomi kita. Jadi, dalam konteks bahagian daripada negara macam Myanmar, macam Laos, mungkin dia tak berapa kisah sangat sebab dia mungkin tak banyak eksport di US tetapi kita RM233 bilion dengan US. Nak build this RM233 bilion, this is not easy. Jadi, on that context— kemudian kalau kita tak bincang pula, orang lain bincang, orang lain sign dapat 19 persen, kita tak mau sign, kita kena 40 persen. Maka, kita sudah tak jadi kompetitif.
Jadi, bila kita tak jadi kompetitif, apa yang berlaku? Yang berlaku ialah seluruh industri contoh E&E, semikonduktor maka mereka kata tak boleh lagi buat production di Malaysia kerana Malaysia ni kalau keluar barang itu kena 40 peratus. Sekarang ini 19 peratus, tetapi di negara-negara lain, mungkin dia akan pindah ke negara yang lebih rendah daripada kita. Sebab itu kita hendak kena jaga benda ini kerana sebahagian besar daripada kita punya eksport ke US ini ialah kita punya E&E, semikonduktor dan barang-barang manufacturing dari segi untuk kesihatan dan sebagainya.
Tuan Yang di-Pertua, saya yang lain itu adalah very specific. Jadi saya ingat Tuan punya, Yang Berhormat, Yang Berhormat yang tanya soalan ini tak ada, jadi saya tak adalah. Cuma saya nak menekankan bahawa caucus ini saya akan panggil.
Dan saya juga akan mengenal pasti Yang Berhormat, Yang Berhormat yang banyak tanya dalam soalan-soalan dalam lisan, tapi tak keluar waktu kita Menteri menjawab atau jawapan-jawapan bertulis yang kita hantar, tetapi tak berapa dapat kefahaman untuk kita dapat dua hala punya perbincangan. Saya akan hantar surat untuk mereka datang dalam caucus dan kita akan buat di MITI, kita ada Dewan yang besar...
Datuk Willie anak Mongin - Puncak Borneo
Yang Berhormat Menteri, Puncak Borneo minta penjelasan sikit boleh?
Datuk Seri Johari bin Abdul Ghani
Boleh, boleh.
Datuk Willie anak Mongin - Puncak Borneo
Terima kasih Yang Berhormat Menteri. Selaku ahli select committee international trade dan international relation, saya ingin bertanya sama ada kerajaan ataupun kementerian ada melaksanakan cost-benefit analysis apabila hendak menandatangani perjanjian ART ini supaya kalau ada kajian tersebut, maka kita boleh uar-uarkan kepada rakyat Malaysia sebab rakyat di luar sana, mereka mengatakan kita rugi dan sebagainya.
Jadi, saya cadangkan ada baiknya kementerian mengambil inisiatif untuk mengadakan cost-benefit analysis ini supaya dia lebih jelas kepada masyarakat umum dan masyarakat Malaysia secara keseluruhan. Terima kasih.
Datuk Seri Johari bin Abdul Ghani
Terima kasih Yang Berhormat. Soalan ini juga ditanya oleh Putrajaya dalam soalan— saya jawab dengan Putrajaya pada ketika saya menjawab soalan minggu lepas. Cost-benefit analysis ini memang ada, tetapi dia mengambil masa enam ke 12 bulan.
Apabila mereka, kita menandatangani ART ini, apa yang kita buat— pasal dia tidak binding, maka kita memanggil semua kementerian untuk bincang, tengok, melihat figure kita ini dengan sebelum itu MITI sign. Sebelum saya masuk MITI.
Kemudian bila saya masuk, saya tengok benda balik semua, semuanya ada proses rectification, tapi 19 percent itu adalah bersifat unilateral.
Now, saya nak beritahu, dalam konteks ini, kita akan tunjuk semua statistik analisis ini dalam kita punya caucus punya perbincangan. Dia tengah buat ni CBA ni.
Dia melibatkan MITI, MIDF, kemudian kita punya MATRADE dan kita punya MIDA.
Kita akan bagi semua ini, kita buat cost analysis, kita akan sedia, kita akan share dengan caucus ni.
Dan, saya ‘nak bagi contoh, dalam kos analisisnya juga, kita ‘nak menunjuk dua kuasa ekonomi terbesar dunia iaitu US dan China. US 31 trilion size economy.
China 19 trilion size economy. Kita USD420 bilion. So, they are 31 trillion. China 19 trillion, kita 420-430 bilion. That’s how small Malaysia compare dengan dua ni, tetapi kita berdagang dua-dua negara. US pun kita berdagang, China pun kita berdagang.
Apa beza dia?
Di US, kalau kita tengok perdagangan kita selama 10 tahun, 2015 hingga 2025. Dalam masa 10 tahun itu, kita berdagang dengan US, kita ada surplus 518 bilion surplus kita. Surplus 518 bilion, tahun lepas sahaja, tahun 2025 sahaja 98 bilion. Macam mana China? China 19 trilion size economy. Kita berdagang dengan dia juga kita ambil dalam period 10 tahun 2015 sampai 2025.
Dia punya trade deficit— kita punya trade deficit dengan China, 606 bilion.
Tahun lepas, 2025, China alone, 146 bilion defisit. Jadi ada produk dengan US ini kita dapat security cost dia ada produk yang bersifat different from apa yang kita ambil daripada China.
Jadi inilah benda-benda yang kita nak tengok supaya kita melihat dalam konteks yang lebih besar. Sebab kalau kita tengok dari segi only very narrow sesuatu subjek, kita ‘tak nampak besar dan mungkin kita— saya pun sebenarnya waktu saya ‘tak masuk meeting ini, masa saya di KPK, saya pun terlibat dalam perkongsian banyak data yang saya bagi.
Contoh, kelapa sawit, koko, getah, rubber product, everything saya bagi.
Jumlah KPK kita eksport 20 bilion dengan all the other commodities, tetapi saya bila kena 19 percent, saya tak pernah rasa problem sebab alternatif produk tak ada. Yang cuma menakutkan saya ialah kalau kita punya tarif ini tinggi daripada Indonesia. Hah yang itu ada masalah. Sebab dia in competition dengan kita, some of the product yang kita buat.
Jadi benda-benda macam ini yang saya rasa kita kena faham. Ada benda yang kita ‘tak boleh say no sebab dia berbentuk unilateral, tetapi macam saya sebut dua, tiga soalan yang saya jawab di Parlimen ini, saya cakap kalau dia bersebab unilateral, tapi dia menyentuh kedaulatan negara, yang itu kita kena be careful...
Tuan Wan Ahmad Fayhsal bin Wan Ahmad Kamal - Machang
Yang Berhormat Menteri, boleh saya mencelah sikit?
Datuk Seri Johari bin Abdul Ghani
Boleh.
Tuan Wan Ahmad Fayhsal bin Wan Ahmad Kamal - Machang
Ya. Saya tak nak salahkan Yang Berhormat Menteri sebab Yang Menteri baru masuk, tapi bagi kami dalam pembangkang dan kami dalam kita ada caucus khas yang sebelum Yang Berhormat Menteri masuk jadi Menteri. Kami dah berdebatlah dengan mantan Menteri MITI sebelum ni. Dan kami tak berpuas hati dengan jawapan beliau. Bagi kami antara punca kenapa perjanjian tersebut bersifat sebegitu kerana kami berpendapat Tambun tergesa-gesa hendak memeterai perjanjian tersebut sempena kehadiran Presiden Trump ke ASEAN.
Kita bercakap tentang arrival jiran kita di seluruh rantau, banyak American Airlines dengan izin, tak sign pun ART lagi, MoU sahaja. Sebab they are not in a rush because there are a lot of things need to be scrutinized dengan izin. Jadi, saya boleh bersetuju separuh dengan apa Yang Berhormat Menteri katakan, tapi bagi kami, that is a political angle to this lopsided deal yang merugikan negara. Itu pendirian pembangkang.
Datuk Seri Johari bin Abdul Ghani
Terima kasih Yang Berhormat. Saya yang itu saya ‘tak ada jawapanlah because I’m not the person who did it, tapi kalau saya ‘nak beritahu Yang Berhormat, saya datang sini melihat dari segi konteks ekonomi. Agreement is strictly on economy. Kedua, saya nampak bahawa ada lagi masa untuk kita melihat rectification ini dan cuba berbincang dengan Yang Berhormat semua yang khususnya dalam caucus ini.
Datuk Seri Johari bin Abdul Ghani
Sebab dalam clause ART ini, dia juga akan ada satu klausa. Dia dalam Article 5.33 yang kalau one day eh kita rasa ini tidak memberi manfaat kepada kita, then we do not want to follow, then America can terminate. When dia terminate, dia ada action dia nak ambil. Any product come to US. Maybe tarif yang kita dapat ini maybe not that tariff. So, I do not want to speculate. Tetapi, apa yang saya nak tekankan bahawa macam mana Yang Berhormat khuatir ini, saya pun masih duduk dalam kementerian ini pun saya masih lagi khuatir.
Sebab saya nak pastikan bahawa dia jangan sampai satu peringkat kita berbalah dengan the biggest economy in the world, USD31 trillion ini and kita ada surplus yang begitu besar selama 10 tahun ini kita berdagang. RM518 bilion. Tahun 2025 sahaja RM98 bilion dia punya trade surplus. Kita tak nak. Kita tak ada portfolio perdagangan dengan nombor satu ekonomi dunia ini.
Jadi, saya lebih nak menekankan, lebih kepada economy part of it. Saya understand YB Machang, nanti Yang Berhormat Machang datang tanya soalanlah.
Okey.
Tuan Yang di-Pertua, itu sahaja. Jadi, saya setakat ini sahaja penggulungan saya terhadap perkara-perkara yang telah dibangkitkan. Agensi-agensi di bawah saya di MITI akan mengambil tindakan dan terus memberikan perkhidmatan untuk memajukan ekonomi negara bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat dalam Menjunjung Titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Sekian, terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Terima kasih Yang Berhormat Menteri. Berikut dipersilakan kementerian selanjutnya, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya - Dato Sri Tiong King Sing
Tuan Yang di-Pertua, terlebih dahulu saya ingin merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Ahli-ahli Yang Berhormat yang telah berbahas dan menyentuh perkara-perkara di bawah tanggungjawab Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) semasa sesi perbahasan Usul Menjunjung Kasih ke atas Titah Diraja di Dewan Rakyat ini dari 20 hingga 29 Januari 2026 yang lalu.
Pada hari ini, saya akan memberi maklum balas terhadap pertanyaan- pertanyaan yang telah menyentuh isu MOTAC oleh enam Ahli Yang Berhormat dari Bachok, Padang Rengas, Julau, Kudat, Sandakan dan Bandar Kuching.
Tuan Yang di-Pertua, dalam menyokong usahawan muda, MOTAC menyediakan pelbagai dana galakan seperti Geran Sokongan Sektor Kebudayaan
(GSSK) dan Geran Sokongan Sektor Pelancongan (GSSP) bagi menggalakkan penganjuran lebih banyak acara seni budaya dan pelancongan.
MOTAC juga mengambil maklum semua cadangan yang dikemukakan oleh Ahli-ahli Yang Berhormat berhubung pembangunan pelancongan, termasuklah prasarana asas dan liputan komunikasi di pusat ekopelancongan di kawasan Parlimen masing-masing.
Namun, ingin saya tegaskan bahawa setiap cadangan perlulah dibincang dan mendapat kelulusan kerajaan negeri masing-masing terlebih dahulu sebelum kemukakan cadangan tersebut kepada MOTAC untuk diproses dan diangkat bagi pertimbangan dan kelulusan dari Kementerian Ekonomi.
Tuan Yang di-Pertua, MOTAC melalui Tourism Malaysia komited mempromosikan pelancongan di semua negeri, termasuklah Sabah dan Sarawak secara berterusan dan agresif. Namun, badan pelancongan negeri hendaklah kreatif dan agresif dalam wujudkan serta membangunkan lebih banyak produk dan pakej pelancongan baru bagi menarik lebih ramai pelancong asing ke negara ini. Tourism Malaysia bersedia bekerjasama dengan badan pelancongan negeri dalam mempromosikan projek dan pakej tersebut.
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Tourism Malaysia juga mengadakan kerjasama strategik dengan agensi swasta serta platform media sosial seperti TikTok, Weibo, Xiaohongshu dan YouTube, termasuklah influencer terkenal bagi memperluas promosi pelancongan negara.
Pada tahun ini, Tourism Malaysia telah bekerjasama dengan 95 influencer dari 19 negara yang menjelajah negeri-negeri seperti Johor, Pahang, Melaka, Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Sabah menjana 1.1 bilion hingga 1.3 bilion tontonan digital. Tahun ini, Tourism Malaysia akan bekerjasama dengan 210 influencer dari pasaran strategik seperti China, Jepun, Rusia dan lain-lain dengan lebih 800 juta pengikut bagi memperkukuh kempen VM2026, sekali gus meningkatkan keterlihatan Malaysia sebagai destinasi pelancongan utama.
MOTAC menghargai cadangan Ahli Yang Berhormat Bandar Kuching berhubung kerjasama strategik dengan pihak swasta seperti Netflix, Telekom Malaysia dan UniFi. Sehubungan itu, Tourism Malaysia akan mengadakan libat urus dengan pihak berkaitan bagi meneliti terma rujukan kerjasama serta meneroka potensi nilai tambah kepada usaha promosi pelancongan negara.
Tuan Yang di-Pertua, bagi meningkatkan keyakinan pelawat terhadap keselamatan di Sabah, MOTAC melalui misi gerakan pelancongan telah memberi penjelasan kepada pemain industri pelancongan antarabangsa mengenai situasi keselamatan semasa. Selaras dengan itu, Tourism Malaysia turut mempergiatkan promosi bagi menggesakan bahawa Kudat dan kawasan sekitarnya adalah selamat dan menarik untuk dikunjungi. Perkara ini juga telah dibangkitkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri.
Oleh itu, saya memohon kerjasama berterusan Menteri Luar Negeri untuk berunding dengan Kementerian Luar Negara asing yang terlibat dalam mengeluarkan notis nasihat perjalanan (travel advisory) bagi menarik balik notis yang telah dikeluarkan demi menyokong pemulihan dan pertumbuhan sektor pelancongan negara.
Tuan Yang di-Pertua, bagi memastikan agihan ekonomi yang adil ke kawasan luar bandar di Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia, MOTAC perkasa ekonomi luar bandar melalui Program Pengalaman Homestay Malaysia (PPHM).
Dalam usaha ini, MOTAC memperuntukkan dana bagi melaksanakan kursus kepada pengusaha-pengusaha homestay berdaftar seperti Refresher Programme, pembangunan pakej homestay, keselamatan pelancong, bahasa dan pembuatan kraftangan.
Di samping itu, pengusaha homestay juga telah mendapatkan kemudahan pembiayaan daripada kementerian berkaitan seperti Skim Pembiayaan Tokoh Negara di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Geran Agropelancongan di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dan Skim Pembiayaan Ekonomi Desa di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya - Dato Sri Tiong King Sing
Bagi menangani bebanan kos latihan untuk pemandu pelancong, MOTAC mengambil pendekatan proaktif dengan mendaftarkan peserta terlebih dahulu, kawasan dengan bilangan peserta yang tinggi akan dihantar dan tenaga pengajar terus ke lokasi bagi memberikan latihan, sekali gus mengurangkan kos pengangkutan dan penginapan. Pendekatan ini membolehkan penduduk tempatan menerima manfaat segera tanpa perlu menunggu pusat fizikal dibina, [Tidak jelas] menimbulkan penggunaan sumber sedia ada.
Selain itu, Kementerian Sumber Manusia melalui Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) menyediakan skim pinjaman khas bagi peserta kurang berkemampuan yang berminat mengikut kursus TVET, termasuklah kursus pemandu pelancong. Peserta boleh memohon melalui Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) untuk mendapatkan pinjaman tersebut.
Tuan Yang di-Pertua, sebagai penduduk, saya sekali lagi ingin merakamkan penghargaan kepada semua Ahli Yang Berhormat yang telah mengemukakan pandangan, saranan dan cadangan dalam memajukan sektor pelancongan, seni dan budaya negara. Saya terus menyeru semua Ahli Yang Berhormat untuk sama-sama membantu dalam meningkatkan ekonomi negara serta menjayakan kempen Melawat Malaysia 2026. Sekian, terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Datoʼ Dr. Ramli bin Datoʼ Mohd Nor
Terima kasih Yang Berhormat. Selanjutnya, saya menjemput kementerian yang berikutnya untuk Menteri menjawab. Dipersilakan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan - Datuk Seri Haji Mohamad bin Sabu
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Menjunjung Titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
Perbahasan yang berjalan di atas Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, saya amat mengalu-alukan di atas pandangan, teguran, kritikan, tunjuk ajar yang disampaikan oleh Ahli-ahli Parlimen yang dihormati sekalian.
Saya nampak tumpuan kepada perbahasan kali ini berbalik kepada soal padi dan beras. Yang lain-lain isu disentuh juga, tapi penekanannya lebih kepada soal padi dan beras. Di antaranya berkaitan dengan pemutuan padi yang tinggi dan tidak sekata. Yang memberi pandangan, Yang Berhormat Bagan Serai, Parit Buntar, Pendang, Pasir Salak, Kangar, Sabak Bernam, Parit, Sungai Besar, Jerlun dan Sik.
Saya menjawab tidak satu persatu, tetapi secara umum.
Berhubung dengan mengenai kadar pemotongan tinggi di negeri Kedah, kementerian mengambil maklum mengenai perkara tersebut. Sebagaimana yang Ahli Yang Berhormat sedia maklum, musim tuaian bagi 2026 di negeri Kedah baru bermula pada hujung Disember. Berdasarkan rekod, jumlah hasil padi yang telah dituai sehingga 26 Januari adalah 11,324 tan metrik iaitu baru 3.17 peratus.
Padi yang dituai tersebut dijual di kilang padi BERNAS dan swasta tempatan di negeri Kedah sahaja dengan purata pemutuan 24.4 peratus. Hasil daripada pemotongan yang dianggap tinggi itu, maka aduan dibuat. Himpunan pun dibuat di depan Bangunan Parlimen dan himpunan ini adalah hak rakyat untuk menyuarakan pandangan mereka seperti disebut oleh Bagan Serai.
Pihak kementerian telah mengadakan sesi libat urus bersama pihak kilang dan pembeli padi di zon utara yang melibatkan negeri Perlis, Kedah dan Pulau Pinang pada 26 Januari 2026. Sesi ini diadakan bagi mendapatkan maklumat balas segera serta gambaran sebenar situasi di lapangan, sekali gus membolehkan satu kaedah penyelesaian yang menyeluruh. Langkah intervensi kerajaan yang bersesuaian dirangka bagi menangani isu yang dibangkitkan. Kementerian turut mengambil maklum kekangan yang dihadapi oleh pihak kilang dan pembeli padi, khususnya berkaitan kenaikan kos harga padi dengan harga beras yang rendah di pasaran.
Sehubungan itu, kementerian mengarahkan supaya proses pemutuan padi, proses pemutuan padi sebenar dilaksanakan secara telus bagi menentukan kualiti sebenar padi yang dihasilkan sepertimana yang telah ditetapkan oleh Ketua Pengarah Kawal Selia Padi dan Beras melalui Perintah Tetap Ketua Pengarah Kawal Selia Padi dan Beras Bilangan 3/2017.
Bagi memastikan subsidi harga padi yang dibayar kepada petani adalah berdasarkan hasil bersih padi yang sebenar, kerajaan memberi jaminan bahawa pemantauan dan penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan, termasuk pemeriksaan berskala ke atas kilang-kilang padi bagi memastikan COP pemutuan dipatuhi sepenuhnya dan kepentingan pesawah terus dilindungi. Berdasarkan pemantauan terkini, purata pemotongan padi di negeri Kedah kini antara 19 hingga 22 peratus.
Tuan Haji Bakri bin Jamaluddin - Tangga Batu
Yang Berhormat Menteri, boleh Tangga Batu mencelah sikit?
Memang saya ada sentuh sikit aktiviti tentang EM lah. Tapi saya nak tanya, sekarang dengan harga beras subsidi kita, lebih kurang harga RM2,600. Dalam Perjanjian ART itu, makna beras daripada Amerika boleh masuk ke Malaysia.
Sedangkan kalau ikut pasaran harga beras sekarang, harga beras Amerika lebih kurang dalam RM1,600 je satu tan. Dan mereka boleh mengeluarkan lebih kurang dalam sembilan hingga 10 juta tan, sedangkan kita di Malaysia baru 1.3. Keperluan kita 2.4 juta tan. Apakah nanti bila dibawa masuk nanti dan tak ada halangan, tak ada cukai, akan menjejaskan penanaman padi kita? Terima kasih.
Datuk Seri Haji Mohamad bin Sabu
Memang sekarang ini beras import bukan hanya daripada Amerika, daripada luar Amerika pun agak murah. Sebab itulah kita hal struktur beras ini kita sedang buat kajian khusus, akan dibentangkan tidak lama lagi kerana kita nak melihat soal harga padi di negara kita dengan harga beras import yang terlalu murah. Sekarang ni kita mesti meletakkan apa-apa perubahan yang kita mahu ialah pengguna terbanyak, orang awam tidak terjejas. Itu yang kita nak sebut.
Tuan Haji Bakri bin Jamaluddin - Tangga Batu
Boleh Tangga Batu tambah sikit? Sikit saja. Yang Berhormat Menteri setuju tak, kita ni sawah kita ni bila kita menggunakan chemical fertilizer, kita gunakan racun perosak, sifatnya chemical.
Sebenarnya kita telah mematikan semua dipanggil beneficial microbes, menyebabkan tanah kita tu jadi mati, kurang subur.
Jadi, hari ni sebenarnya banyak kajian-kajian dah dibuat bagaimana EM ni boleh membantu kesuburan tanah. Tapi saya melihat tidak ada suatu political will daripada kementerian untuk mengangkat isu ini betul-betul menjadi sebagai suatu polisi yang digunakan di peringkat nasional. Sebab saya sendiri, ramai researcher, researcher sama ada daripada universiti dan agensi, dia datang jumpa saya, “YB macam mana ni, macam mana ni”. Minta pandangan daripada Menteri sikit.
Datuk Seri Haji Mohamad bin Sabu
Memang sensitif hal perubahan tanah dan sebagainya. Sebab itulah pandangan di antaranya usaha MARDI, usaha universiti dan sebagainya kita mengambil kira untuk menyuburkan hal tanah ini.
Sebab itulah kita lihat perubahan kepada mekanisasi, perubahan kepada hal tanah, semuanya kita sedang usahakan sebab itu berlaku peningkatan hasil di beberapa tempat.
Datuk Seri Haji Mohamad bin Sabu
Tetapi kebanyakannya masih berada di tahap yang agak rendah. Jadi, saya— ini ada lagi setengah jam. Ini banyak sangat ini, pertanyaan ini. Saya nak pergi beras sikit lagi. Untuk makluman Dewan, kerajaan telah bersetuju mengenai harga lantai belian padi. Kita tahu dah, daripada tiga ke 1,500 dan berlaku pula sekarang ini penurunan harga import dan sebagainya.
Apa hal pun, kita kena lihat iaitu kebajikan para petani dan juga pengguna iaitu orang ramai supaya kita dapat menyeimbang. Itu tugas kerajaan. Namun begitu, kerajaan ingin menegaskan bahawa penetapan harga lantai perlu dibuat secara berhati-hati dan seimbang.
Bagi memperkukuh sokongan kepada pesawah tanpa haknya bergantung kepada harga lantai semata-mata, kerajaan telah menyediakan peruntukan subsidi dan insentif berjumlah RM2.62 bilion bagi 2026. Insentif para petani ini, sekarang ini lebih kurang RM4,000 untuk per hektar iaitu subsidi yang agak tinggi. Kalau dibandingkan dengan negara-negara di ASEAN ini, subsidi para petani kita di antara yang tertinggi.
Bagi mengukuh sokongan kepada pesawah tanpa hanya bergantung pada harga lantai, kerajaan telah menyediakan peruntukan subsidi yang saya sebut tadi.
Subsidi baja, racun dan semua dah diulang sebut berkali-kali di sini. Kerajaan ingin menjelaskan bahawa buat masa ini harga lantai kita kekal RM1,500.
Walaupun ada pihak pesawah yang menghantar memorandum minta dinaikkan, pada masa ini kita berpandangan kekal dengan RM1,500. Dan kita lihatlah keadaan masa hadapan, bentuk pasaran beras yang berada di Malaysia dan di pasaran antarabangsa.
Tuan Haji Mohd Misbahul Munir bin Masduki - Parit Buntar
Parit Buntar.
Boleh? Yang Berhormat Menteri, dalam jawapan yang diberi oleh Timbalan Menteri pada beberapa hari yang lepas berkaitan dengan cadangan tuntutan daripada pesawah supaya harga lantai dinaikkan kepada RM1,800. Timbalan Menteri menjawab, tak perlu dibuat kajian berhadap harga tersebut.
Sekurang-kurangnya, kajilah dulu. Menghormati tuntutan pesawah. Jawapan itu sangat mengecewakan sebab yang hantar memorandum ini pesawah. Semua ahli pesawah ini memang pesawah, yang hidup mati di bendang. Mereka merasai peritnya harga padi yang ditetapkan RM1,500 dengan kos pengurusan padi yang begitu tinggi.
Kita berterima kasih kepada pesawah yang membanting tulang empat kerat setiap hari tengah panas. Tetapi apa yang mereka perolehi selepas menuai, tidak memadai dengan kerja keras mereka.
Tiba-tiba, senang-senang Timbalan Menteri jawab, tak perlu dikaji. Paling kurang, kaji, libatkan semua pihak. Bincang dengan pesawah. Bincang dengan peladang supaya mereka puas hati. Terus tak payah kaji dan sebagainya. Ini suatu jawapan yang sangat mengecewakan para pesawah. Nanti dulu, Abang Mat. Sabar, sabar. Bukan senang.
Datuk Seri Haji Mohamad bin Sabu
Yang Berhormat, jangan panjang sangat.
Tuan Haji Mohd Misbahul Munir bin Masduki - Parit Buntar
Saya nak tanya, apa jadi dengan janji?
Datuk Seri Haji Mohamad bin Sabu
Kesian nak jawab yang lain ini.
Tuan Haji Mohd Misbahul Munir bin Masduki - Parit Buntar
Semua yang tanya ini, pembangkang belaka. Pihak kerajaan, seorang pun tak bangkit. Tak disebutkan kawasan-kawasan Ahli Parlimen mana-mana. Jadi, bagilah.
Datuk Seri Haji Mohamad bin Sabu
Terima kasihlah, pembangkang. Tak mahu jadi kerajaan dah, kan?
[Ketawa]
Tuan Haji Mohd Misbahul Munir bin Masduki - Parit Buntar
Insya-Allah, akan tukar PRU akan datang dan kerajaan pun akan bersedia untuk mengundur diri, insya-Allah. Sebab tak mampu mengatasi masalah pesawah padi. Satu lagi.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato' Mohd Nor
Yang Berhormat, ini floor Menteri. Kalau Menteri kata boleh, saya benarkan. Kalau tidak, saya suruh duduk. Yang Berhormat, sebentar. Sebentar, Yang Berhormat. Yang Berhormat Menteri benar atau tidak?
Datuk Seri Haji Mohamad bin Sabu
[Berucap tanpa menggunakan pembesar suara]
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato' Mohd Nor
Okey, selama satu minit.
Tuan Haji Mohd Misbahul Munir bin Masduki - Parit Buntar
Ha, bagus.
Terima kasih. Kita kawan, kan? Kalau boleh, balik ke pangkal jalan. Okey. Akhir sekali, apa janji RM600 itu, RM200 satu musim? Sekarang dah masuk musim ketiga.
Jadi, kerajaan berhutang dengan pesawah dah mencecah sampai RM1,200 ini.
Tolonglah bagi jawapan supaya puas hati. Dan akhir sekali, mengapa baja lewat dibagi pada pesawah? Dah sebulan, dua bulan, baru sampai. Ini menyebabkan pesawah merasa apa ini— rosaklah padi itu dari sudut kesuburannya. Terima kasih.
Datuk Seri Haji Mohamad bin Sabu
Terima kasih. Inilah wakil rakyat.
Tuan Wan Ahmad Fayhsal bin Wan Ahmad Kamal - Machang
[Bangun]
Datuk Seri Haji Mohamad bin Sabu
Dia peka terhadap kehendak rakyat.
Semoga insya-Allah akan kekal menjadi pembangkang yang baik. Memang kita— Yang Amat Berhormat Perdana Menteri amat concern soal kehidupan pesawah ini.
Sebab itulah di peringkat awal, beliaulah yang mengumumkan kenaikan harga ke RM1,300. Kemudian, kali yang kedua ke RM1,500. Sekarang ada permintaan dan kita lihat dari segi bantuan-bantuan yang lain ditambah dari masa ke semasa. Soal pembajakan, penuaian, baja dan sebagainya.
Walau bagaimanapun, kalau rintihan ini terus berlaku, kita akan bincang.
Libat urus kita akan sentiasa buat. Bila timbul soal himpunan di depan Parlimen itu, dengan tuntutan mereka dan sebagainya, soal pemutuan padi, saya terus arahkan pegawai untuk pergi membuat libat urus di Kedah.
Berertinya, kita amat peka sebarang tuntutan daripada rakyat dan kita panggil pengilang-pengilang di situ berbincang secara fakta. Dan akhirnya, berlakulah sedikit perubahan. Penurunan daripada 24 kepada 20–21 peratus. Ertinya, kita amat sensitif apa saja tuntutan daripada rakyat sebab kita pun tahu, biasa duduk belah sana dulu.
Jadi, kita tahulah tuntutan rakyat itu. Tetapi jangan anggap kita tidak peka apa yang dituntut oleh rakyat itu, kalau ia nya munasabah.
Tuan Ahmad Tarmizi bin Sulaiman - Sik
[Bangun]
Datuk Seri Haji Mohamad bin Sabu
Tentang bayaran diberi, selalunya yang dituntut itu dalam bentuk one-off. Bila one-off, dia berlaku sekali gus. Kemudian selepas itu, kalau nak buat lagi, kita perlu mohon peruntukan kepada kerajaan dari masa ke semasa, kalau kita nak beri one-off yang lain. Ini dua. Machang...
Tuan Ahmad Tarmizi bin Sulaiman - Sik
Sik, Sik.
Datuk Seri Haji Mohamad bin Sabu
Sik.
Tuan Ahmad Tarmizi bin Sulaiman - Sik
Boleh na, Yang Berhormat Menteri?
Tuan Wan Ahmad Fayhsal bin Wan Ahmad Kamal - Machang
Sik dululah. Sik dulu.
Datuk Seri Haji Mohamad bin Sabu
Sik dululah.
Tuan Ahmad Tarmizi bin Sulaiman - Sik
Saya nak sambung tadi Yang Berhormat Menteri sebut. Ada satu pertemuan dan juga perbincangan dengan pengilang padi soal potongan pemutuan padi ini yang saya pasti sedang menjadi topik utama di pihak kementerian sendiri.
Jadi, dalam perbincangan itu, adakah kementerian telah mengikat secara kontraknya, secara tetapnya bahawa perlu ada satu standard yang jelas soal pemutuan itu? Dan tidak boleh hanya kita menerima satu persetujuan secara lisan yang tidak kukuh di pihak pengilang itu sendiri. Ketika mana mereka dengan mudah ya, membuat pemotongan tanpa ada satu mekanisme yang jelas, berapa percent nak potong itu.
Di pihak petani sendiri, mereka pasti akan menjual padi mereka yang terbaik kerana itulah hasil mereka. Jadi, soal sampai ada 65 percent kilang memotong pemutuan ini sangat-sangat tidak wajar dan sudah sampai kementerian kena— perlu ada kertas ataupun satu dasar yang konkrit di pihak kementerian sendiri, bahawa pengilang mesti mengikut mekanisme itu. Terima kasih.
Datuk Seri Haji Mohamad bin Sabu
Pemotongan dia ikut, ada kriterianya.
Kita tak boleh letak mesti 20 peratus. Sebab di Selangor, ada pemotongan antara 13 sehingga 20 peratus kerana mutu padi mereka, keadaan padi yang dijual itu, pihak kilang berpuas hati untuk memotong bawah daripada 20 peratus.
Begitu juga yang disebut tadi, ada yang potong sampai 66 peratus. Kita menghantar— sebut sahaja isu ini daripada Parit, kita telah mengarahkan pegawai- pegawai pergi check apa sebenarnya berlaku. Sebab— pemotongan itu di antaranya satu, kandungan wap, padi rosak, padi muda, hampa ataupun bendasing. Bendasing ini benda asing.
Yang Berhormat Parit, tak hadir ya tetapi tak apa. Soalan itu kita akan menjawab iaitu memastikan padi yang dijual adalah bersih dan berkualiti.
Mengelakkan kerajaan membayar subsidi harga padi berdasarkan padi kasar yang mengandungi benda asing, padi muda dan hampa. Biar subsidi itu di atas padi benar.
Datuk Seri Haji Mohamad bin Sabu
Mengurangkan ketirisan subsidi, menyeragamkan kaedah pemutuan di semua kilang padi termasuk BERNAS dan kilang swasta. Semua pemutuan yang dijalankan oleh BERNAS hendaklah mematuhi SOP.
Pada 27 Januari 2026, KPKM menerima aduan berhubung isu dibangkitkan oleh Yang Berhormat Parit mengenai kadar potongan padi yang tinggi yang dilaporkan potongan hingga 40 hingga 65 peratus sehingga memberi kesan ketara terhadap pesawah. Saya dengar ucapan itu dan kita rasa amat sedihlah keadaan itu berlaku.
Pemeriksaan dibuat 3 Februari 2026 di Kilang BERNAS, Sungai Manik, Perak terhadap transaksi belian padi dan hasil semakan oleh BERNAS ke atas rekod belian padi 2/2025 hingga 3 Februari 2026, julat pemotongan padi di BERNAS untuk musim 2/2025 adalah 20 peratus sehingga 85 peratus. Jumlah belian padi sebanyak 16,830 metrik tan dan 13,290,000 metrik tan berat bersih. Purata pemotongan sebenar padi di Sungai Manik, 21 persen, purata.
Jadi, yang purata ini dapat daripada termasuk yang dipotong 50, 60 persen itu. Pemutuan tinggi disebabkan faktor kualiti padi yang rendah melibatkan kelembapan padi, hampa, padi muda dan rosak. Potongan bagi transaksi tersebut turut dimaklumkan kepada pemandu lori dan dipersetujui dalam Sijil Mutu Padi.
Ertinya, pemandu yang bawa padi itu pun setuju dengan pemotongan itu.
Ringkasan empat transaksi dengan pemutuan lebih 30 peratus adalah empat sahaja, bukan seperti yang dilaporkan berlaku di seluruh Perak yang menggemparkan dunia media dan sebagainya, 25 Januari, berat kasar 2,040 kilogram. Berat sebenar, 694. Potongan 66 peratus sebab wap basah 10 persen, hampa 56 persen.
Yang kedua, 7 Januari. Potongan 65 persen. 7 Januari lagi sekali, 56 persen.
Kemudian, 25 Januari, ada lagi satu jualan 50 persen. Ini empat yang berlaku di Parit itu, bukan menyeluruh. Menyeluruhnya, purata hanya 21 persen. Sebab itu particular ini pegawai kita pergi dan buat siasatan. Inilah keputusan yang diperolehi.
Pihak BERNAS juga telah memaklumkan setiap potongan dan sebab potongan tinggi yang dikenakan juga dijelaskan kepada pesawah atau pemandu lori.
Pesawah atau wakil menandatangani persetujuan pada Sijil Mutu Padi. Ia nya merupakan sebahagian daripada amalan two-way communication antara kilang dan pesawah. Ini yang berlaku di situ, bukan menyeluruh. Dia ada particular padi tertentu yang berlaku di empat kali jualan ini yang berlaku di Parit.
Tuan Wan Ahmad Fayhsal bin Wan Ahmad Kamal - Machang
[Bangun]
Datuk Seri Haji Mohamad bin Sabu
Semoga penjelasan ini, dia tidaklah berlaku secara menyeluruh tetapi kalau ada penyelewengan kilang dan sebagainya dilaporkan dalam Parlimen ini, saya sendiri akan mengarahkan pegawai pergi segera ke tempat itu seperti berlaku libat urus di MADA tiga hari selepas ucapan dia. Seperti selepas daripada himpunan di sini dan juga kita— pegawai terus ke Parit selepas ucapan daripada Ahli Parlimen Parit.
Bagaimanapun Ahli-ahli Parlimen membawa pandangan-pandangan itu, memang inilah tempatnya untuk kita memberi penjelasan. Machang.
Tuan Wan Ahmad Fayhsal bin Wan Ahmad Kamal - Machang
Terima kasih Yang Berhormat Kota Raja, Yang Berhormat Menteri. Saya ada satu persoalan melibatkan KADA. Baru-baru ini, KADA melaporkan dalam media seperti dilaporkan, hasil meningkat 199,000,238 tan metrik yang menyumbang kepada 9.5 peratus bekalan beras putih negara berbanding pada tahun 2024, 143,000 tan metrik.
Sepatutnya secara kasar, beras tempatan akan ada sebanyak lebih kurang 13 juta kampit beras 10kg. Soalannya, ke mana beras-beras ini?
Sebabnya, kalau dia dah kata ada 95 peratus peningkatan kadar sumbang tapi data SSR yang ada adalah tahun 2024. 2025 belum ada, Yang Berhormat Menteri. Jadi, apakah ada masalah dari segi maklumat yang tak berapa tepat dari segi itu?
Datuk Seri Haji Mohamad bin Sabu
Memang pengeluar beras sebenarnya bukan meningkat. Kita sekarang di peringkat 52 peratus kerana berlaku masalah perubahan cuaca dan sebagainya dan juga yang saya dah sebut dah berkali-kali, kawasan baru yang kita nak buka ini agak lambat, terutama sekali di negeri-negeri di sebelah selatan iaitu Melaka, Johor, Negeri Sembilan, Terengganu ada tanah yang sesuai tapi dari segi proses penukaran nak memulihkan itu agak lambat. Begitu juga Sabah dan Sarawak dan memerlukan peruntukan yang agak banyak.
Sebab itulah kita dari segi peruntukan ini, memang kita perlu untuk tahun- tahun yang akan datang di antaranya, padi tidak boleh ditingkatkan hasil kalau infrastrukturnya tidak baik. Walaupun kita dah keluarkan satu bilion lebih kurang di MADA, tapi peringkat buat lima kali dua tahun itu peringkat yang baru, sebahagian kecil sahaja. Sebab itu harga beras ini di antaranya telah berlaku percampuran sudah berpuluh tahun dan sekarang ini untuk menjaga hal itu, maka kita akan lihat pemutuan beras itu dan pihak MARDI telah ada teknologi kalau ada berlaku percampuran dan sebagainya.
Tuan Haji Bakri bin Jamaluddin - Tangga Batu
Yang Berhormat Menteri, sikit nak tanya. Dulu bila harga beras import mahal, beras tempatan murah, beras tempatan hilang, yang keluar, beras import. Hari ini bila beras import jadi murah, apakah ada kemungkinan beras, diimport beras tapi di-declare sebagai beras tempatan supaya mereka dapat harga yang lebih baik? Sekadar pertanyaan sahajalah. Terima kasih.
Datuk Seri Haji Mohamad bin Sabu
Orang meniaga ini, dia ada taktik macam-macam. Walau bagaimanapun, kita ada sistem kawalan dan kita akan cuba menjaga. Sebab itulah yang penting, apa berlaku, kita izinkan perubahan struktur beras dan sebagainya. Beras yang berpatutan, harga murah sekurang-kurangnya dapat dibeli oleh orang-orang B40.
Tuan Nurul Amin bin Hamid - Padang Terap
[Bangun]
Datuk Seri Haji Mohamad bin Sabu
Enam bulan kita buat kajian, kita dapati 15 peratus rakyat yang memerlukan harga lebih kurang RM26 untuk 10 kilo. Sebab kita ada buat kajian dalam enam bulan, sebab itulah apa perubahan pun, kepentingan 15 peratus yang memerlukan beras yang harga lebih murah itu, kita tak akan nafikan hak mereka terutama golongan yang tidak mampu untuk membeli beras yang harga lebih tinggi.
Datuk Haji Idris bin Haji Ahmad - Bagan Serai
Yang Berhormat Menteri.
Datuk Seri Haji Mohamad bin Sabu
Padang Terap pula dulu, Padang Terap dulu sat.
Tuan Nurul Amin bin Hamid - Padang Terap
Terima kasih Yang Berhormat Menteri. Tentang infrastruktur untuk pesawah di bendanglah. Soalan saya, kawasan di luar jelapang yang bukan di bawah seliaan MADA. Saya ada bangkitkan dalam perbahasan, apakah nasib-nasib pesawah yang nak tuai padi tapi bendang depa ini dah kering, air tak ada, skim pengairan pun tak cukup? Jadi, apakah perancangan pihak kementerian untuk menambah infrastruktur air, pengairan air di sawah khususnya di kawasan di luar jelapang? Contohnya di Padang Teraplah, bukan di kawasan MADA. Terima kasih.
Datuk Seri Haji Mohamad bin Sabu
Jawapan Padang Terap ada di belakang itu tapi tak sampai lagi. Kalau tak sampai, saya bagi cara bertulis.
Tuan Nurul Amin bin Hamid - Padang Terap
Bagi duduk depan*.
[Ketawa]*
Datuk Seri Haji Mohamad bin Sabu
Ya, sebab memanglah Padang Terap mengadu. Dam di Padang Terap tapi airnya untuk Perlis, Pulau Pinang dan juga di kawasan padi. Mereka di tepi dam tak ada air, macam kita duduk tepi laut tapi tak ada ikan.
Insya-Allah kita akan usahakan supaya orang tepi laut itu dapat makan ikan.
IADA sedang menggerakkan dan kalau tak sampai jawapan itu, saya akan bagi secara bertulis tentang program pengairan di kawasan Padang Terap yang Yang Berhormat Padang Terap timbulkan. Bagan Serai.
Datuk Haji Idris bin Haji Ahmad - Bagan Serai
Terima kasih kepada Datuk Speaker, terima kasih kepada Menteri. Tadi dimaklumkan subsidi untuk petani ini lebih kurang hampir dekat RM4,000, alhamdulillah. Tapi masalah yang berlaku hari ini, kalau kita tengok di real berlaku di bawah sana. Apabila walaupun subsidi itu naik, tapi kos input dia tinggi sepertimana baja, racun, kos-kos bajak dan sebagainya.
Persoalan saya ialah saya selalu bangkit berkenaan dengan apa fungsi yang ada kepada Pertubuhan Peladang, Lembaga Pertubuhan Peladang?
Datuk Haji Idris bin Haji Ahmad - Bagan Serai
Dia orang ini apa yang dia fikir untuk petani ini. Kadang-kadang bab berkenaan dengan soal sepatutnya setiap daerah itu patutnya macam belah Bagan Serai tu dah ada dah orang kata untuk kata kilang yang agak besar sebagainya, dia boleh monopoli untuk memastikan hasil-hasil itu dijual kepada pertubuhan peladang.
Begitu juga dengan baja, racun yang boleh dijual oleh pertubuhan peladang itu sendiri, yang saya dimaklumkan banyak peruntukan-peruntukan yang dapat.
Apa yang saya nampak ialah nampaknya tempat-tempat itu hanyalah untuk menjadikan, hanyalah sebagai untuk income mereka sahaja. Menteri pun tahu, saya tahu. Jadi, sebab itu saya harapkan benda-benda seperti ini perlu diatasi kerana saya dimaklumkan semalam, oleh kerana ada seorang itu dia buat padi tiga ekar dia kata ustaz. Dia kata, padi sendiri ini, tanah sendiri. Dia terpaksa berhutang pula RM1,300.
Itu kes tak jadilah.
Yang keduanya soal perairan. Semalam pun saya berjumpa dengan Yang Amat Berhormat Timbalan Menteri Datuk Fadillah berkenaan dengan soal saliran air lah. Saya faham berkenaan dengan soal sawah ni bukan Menteri Pertanian saja, dia perlu ada holistik termasuklah juga dengan kementerian lain terutama dalam soal ini kerana soal di Bagan Serai ni kita nampak agak ketara kerana walaupun ada dam ataupun empangan, kolam dekat Bukit Merah, kalau hujan dua, tiga, empat hari, banjir.
Kalau kemarau pula seminggu, kering. Jadi, kolam itu sudah pun berusia hampir dekat dengan 120 tahun. Sebab itu saya minta penyelenggaraan kerana ini kawasan datar, kawasan dianggap sebagai jelapang padi Perak. Tiba-tiba tak boleh buat padi. Terima kasih kepada Menteri.
Datuk Seri Haji Mohamad bin Sabu
Setuju dengan pandangan Bagan Serai itu. Memang itu, sebab itulah kita ada projek Kerian yang berbilion Ringgit yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri dan telah lancarkan iaitu untuk pembaharuan, termasuklah sistem pengairan di Daerah Kerian itu, sampailah kepada Parit Buntar, Bagan Serai dan sebagainya. Sebab itu kita tahu dari segi pengairan dan sebagainya, itu adalah tanggungjawab kerajaan. Tanggungjawab rakyat iaitu semua kita hendaklah bekerja untuk memenuhi apa yang dilakarkan oleh kerajaan.
Tentang rungutan daripada Parit Buntar tadi tentang kelewatan baja, insya- Allah saya akan cuba pada masa-masa yang akan datang ini, tak akan terlewat lagi kerana dia adalah satu schedule yang peruntukan dan bajetnya ada supaya ia menepati masa. Insya-Allah, itu kalau terlewat lagi sesi akan datang, balun saya lagi dan memang kita menyedari soal kos penyelenggaraan sawah ini semakin meningkat. Sebab itu, kita berusaha misalnya melalui NAFAS, kita sedang berusaha bagaimana nak mencari jalan supaya harga baja lebih murah pada masa yang akan datang.
Pada masa yang sama, untuk meningkatkan hasil padi, kita nak galakkan soal SMART SBB supaya mereka sanggup mencantumkan sawah mereka, membuat kawasan lebih besar. Setakat ini sambutan baru di sekitar dua peratus sahaja. Memang didapati SMART Sawah Padi ini, secara besar-besaran ini memang kita nampak ia mendatangkan hasil yang lebih baik, penjagaan yang lebih baik sebab bekas Pendana Menteri yang 22 tahun dulu dalam perbualan dengan saya dululah, perbualan dulu. Beliau mengatakan bahawa memang orang-orang desa ini nak mencantumkan sawah mereka memang amat sukar. Mereka lebih suka untuk membuat secara satu ekar, dua ekar, tiga ekar, begitu.
Walau bagaimanapun, kecenderungan SMART SBB ini sedang berkembang sekarang ini, supaya kita dapat membuat kawalan dan juga meningkat hasil dengan pemodenan yang lebih baik dari semasa ke semasa. Kita ambil contoh misalnya SMART Sawah Padi, mereka di Tanjong Karang, mereka telah memperoleh enam tan metrik sehektar, bandingkan tiga daripada empat tan sebelum ini. 87 orang peserta yang terlibat dalam program SMART SBB kawasan Tanjong Karang dengan keluasan projek 126.5 hektar menghasilkan purata sebanyak 4.8 tan metrik per hektar dan mereka boleh meningkat sehingga enam tan per hektar dan sepatutnya kita target mengatasi lebih daripada tujuh tan per hektar.
Dari sudut pelaksanaan, kerajaan mengakui bahawa keberkesanan SMART SBB sangat bergantung kepada kerjasama kerja negeri dan agensi pelaksana dan kita harap juga dalam hal membuka kawasan-kawasan baru, kawasan padi ini, kerjasama kerajaan negeri amat-amat diperlukan. Saya sendiri pergi meninjau misalnya di Setiu, ada satu kawasan lebih kurang 1,500 ekar. Memang sesuai dengan tanaman padi tapi kita lihat dari segi nak memulihkan kawasan itu, nak membuang kayu dan sebagainya, dia memakan belanja yang agak besar dan kita nak jadikan di antara tempat itu, tempat jelapang padi yang besarlah untuk negeri Terengganu iaitu Daerah Setiu itu.
Itu dengan kerjasama kerajaan negeri. Exco Pertanian Negeri Terengganu telah mengatakan beliau akan memberi sepenuhnya kerjasama untuk melahirkan satu kawasan sawah yang besar di daerah Setiu itu. Pendekatan kerajaan melalui SMART SBB bukanlah untuk membuka kawasan baru secara meluas semata-mata, tapi untuk mengoptimumkan kawasan jelapang yang sedia ada, seperti yang sedikit sedang berlangsung di Tanjong Karang.
Masih dalam konteks usaha meningkatkan sasaran SSR Beras, program lima musim yang kita sebut tadi, masih lagi di peringkat awal yang berlaku di negeri Kedah. Projek rintis ini melibatkan keluasan 213.9 hektar dengan penyertaan 165 orang pesawah. Ini yang lima musim yang sedang bermula sekarang di Kedah.
Insya-Allah, bila semua kawasan MADA ini akan pergi ke lima musim, SSR beras negara kita insya-Allah akan meningkat. Berdasarkan rekod pelaksanaan, purata hasil tuaiannya bagi musim tambahan di bawah program ini telah mencapai 4.91 tan.
Ini satu kenaikan yang agak baik kalau dibandingkan dengan keadaan hasil yang terdahulu.
Tuan Haji Mohd Misbahul Munir bin Masduki - Parit Buntar
Sebelum...
Datuk Seri Haji Mohamad bin Sabu
Tanya lagi?
Tuan Haji Mohd Misbahul Munir bin Masduki - Parit Buntar
Tak, nelayan ada nak jawab tak? Nelayan, isu nelayan?
Datuk Seri Haji Mohamad bin Sabu
Banyak, kalau tak sampai, saya akan jawab cara bertulis.
Tuan Haji Mohd Misbahul Munir bin Masduki - Parit Buntar
Banyak saya bangkit isu nelayan ni.
Datuk Seri Haji Mohamad bin Sabu
Pasal saya nampak isu yang utama beras. Kita tumpu yang itu sebab beras ni memang tanggungjawab semua Ahli Parlimen, semua. Semua kita kena berkempen untuk nak— soal keterjaminan makanan negara. Sebab ia nya cukup penting. Siapa memerintah pun, sama ada belah sana pembangkang, kami memerintah. Kami memerintah, belah sana pembangkang, hal beras itu tetap menjadi tajuk utama.
Jadi, saya ingat hal padi, banyak lagi yang nak diterangkan. Sebenarnya yang datang di sini, banyak kawasan padi telah [Tidak jelas] tapi bagaimana kita nak menggerakkan, itu adalah tanggungjawab bersama kita.
Puan Isnaraissah Munirah binti Majilis @ Fakharudy - Kota Belud
YB Menteri, Kota Belud. YB Menteri, saya dalam perbahasan saya, saya ada menyebut berkenaan kesan kepada tanaman padi untuk Projek Terusan Sumpingon, Kampung Piasau. Saya harap YB Menteri dapat mempertimbangkan permohonan saya seperti dalam perbahasan saya YB. Kasihan, sudah enam musim tidak dapat bertanam.
Terima kasih.
Datuk Seri Haji Mohamad bin Sabu
Terima kasih. Hari itu bersyarah nampak garang, bertanya lembut, begitulah. Sebab wanita segarang-garang mana pun, macam kerak nasi, sekeras mana pun, disimbah air lembutlah ia.
Datuk Seri Haji Mohamad bin Sabu
Banyak juga Ahli Parlimen menimbulkan soal subsektor tanaman iaitu berdaya tahan dan berorientasikan kesihatan rakyat. Rasah menimbulkan tiga jenis tanaman utama iaitu jagung bijian, kelapa dan kopi.
[Timbalan Yang di-Pertua (Puan Alice Lau Kiong Yieng) **mempengerusikan Mesyuarat****] Sekarang, seperti yang disebut yang kerapnya oleh Tangga Batu, soal kopi itu. Kopi memang sedang berkembang pesat sekarang ini terutama sekali kita lihat sambutan daripada Johor, daripada Terengganu, Kedah, Sabah, Sarawak. Dan kopi ini mempunyai pasaran yang tinggi terutama sekali, bukan kopi biji, kopi produk Malaysia agak terkenal.
Tuan Haji Bakri bin Jamaluddin - Tangga Batu
Baik, Menteri, sedikit sahaja fasal Menteri dah sebut Tangga Batu tadi.
Datuk Seri Haji Mohamad bin Sabu
Sebab itulah kita sekarang ini menumpu, di antaranya, memberi galakan soal tanaman kopi ini kerana ia nya menjadi satu hasil sudah lama tapi satu pendapatan baharu kepada para petani sekarang ini.
Tuan Haji Bakri bin Jamaluddin - Tangga Batu
Boleh, Menteri? Fasal sebut Tangga Batu. Baik, kita tahu bahawa kita punya average kopi kita, saya ingat, sekitar 3,000, 4,000 saja tapi kita import lebih kurang dalam 33,000 tan, saya ingat.
Dan dengan trend hari ini anak muda suka minum kopi― Cuma, saya setuju dengan apa yang dibuat oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan. Cuma, kalau kita lihat kopi ini, dia sebenarnya ada yang first quality, second quality. Yang terbaik adalah Arabica, Robusta, Liberica dan juga Excelsa. Baik, kalau Liberica ini, dia mungkin sesuai di kawasan Johor, kawasan yang peak― Sarawak boleh― hujan tinggi. Tapi kalau untuk Robusta ini, dia panggil kopi kedua terbaik selepas Arabica, dia sangat sesuai di kawasan-kawasan yang cuaca dia panas dan dia punya musim kemarau yang agak panjang.
Sebab itu saya rasa kementerian kena lihat bagaimana potensi yang ada di Kedah sebenarnya. Dulu pernah kita lancarkan kopi dengan Nestle di Sik dan Baling.
Kalau boleh, dibantu. Sebab, bagi saya, hari ini harga getah pun harga tak baguslah.
Jadi, kalau boleh diusahakan, jadi kita boleh memberikan satu, kita panggil apa, industri yang pendapatan yang tinggi kepada orang kampung dan dalam masa yang sama kita boleh mengurangkan import biji kopi kita dari luar. Terima kasih.
Datuk Seri Haji Mohamad bin Sabu
Saya setuju. Saya setuju. Dalam hal ini, kita bersama. Memang sekarang ini dibuka kopi ini terutamanya di Baling, di Sik, di Pendang, di beberapa tempat yang lain dengan secara yang agak besar-besaran.
Jadi, itu yang― Sebelum berakhir, saya nak jawab juga daripada Kota Belud iaitu isu projek terusan di Kampung Piasau yang telah lama disuarakan dan sekarang IADA sedang mengambil inisiatif untuk berusaha menyiapkan apa yang disuarakan.
Untuk makluman Yang Berhormat, pihak Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan sedang melaksanakan satu projek pembangunan infrastruktur pertanian di Daerah Kota Belud, Sabah yang telah diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Kedua― Repair and Improvement Works of Piasau Dundau serta kerja-kerja pembinaan terusan. Antara skop projek terlibat ialah pembinaan tali air, menaik taraf Empangan Piasau Dundau, membaik pulih tali air utama, membina lintasan dan jalan pertanian. Kos keseluruhan projek ini adalah RM20.8 juta. Selepas kelulusan, kenaikan kos projek RM2.2 juta pada bulan November 2025.
Puan Isnaraissah Munirah binti Majilis @ Fakharudy - Kota Belud
Yang Berhormat Menteri, sebab semasa meeting saya yang terbaru dengan JPS Kota Belud berkenaan projek ini jugalah, sebahagian daripada itu, saya dimaklumkan akan ada additional cost. Jadi, kalau sekiranya kementerian tidak luluskan additional cost, projek itu tidak akan dapat siap dan begitu juga kawasan pertanian, kawasan sawah padi yang Piasau Dundau itu akan terbengkalai sekali. Jadi, saya pohon kementerian untuk― itu pertama.
Kedua, untuk buka semula sawah padi yang enam musim terbengkalai itu.
Saya harap kementerian juga dapat mempertimbangkan untuk bantu. Sebab, petani di situ dia hanya mengikut arahan. Maksudnya, sepatutnya dia orang dibenarkan untuk menanam semasa projek ini berlangsung. Terima kasih, YB Menteri.
Datuk Seri Haji Mohamad bin Sabu
Rayuan YB diterima. Sebab itulah kenaikan sebanyak RM2.2 juta pada bulan November 2025. Nanti kita pergi ronda bersama ya di tempat itu. Kerja-kerja pembinaan telah bermula 22 Mac 2023 dan dijangka siap 21 Mei 2026, insya-Allah, selepas lanjutan masa nombor satu diluluskan.
Jadi, saya jawab setakat ini saja sebab dah masa dah lebih. Yang lain-lain, saya akan jawab secara bertulis. Bukan saja bertulis. Kalau ada apa-apa masalah besar, kita harap Ahli-ahli Parlimen boleh datang ke pejabat kita untuk mendapat maklumat dan juga apa-apa perbincangan yang perlu kita untuk soal keterjaminan makanan kita di Malaysia ini.
Sekian, terima kasih tidak terhingga kepada semua.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Terima kasih, Yang Berhormat Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan. Sekarang saya jemput Yang Berhormat Menteri dari Kementerian Pendidikan untuk menjawab.
Menteri Pendidikan - Puan Fadhlina binti Sidek
Terima kasih.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih, Timbalan Speaker.
Terlebih dahulu, izinkan saya merafak sembah menjunjung kasih ke hadapan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar atas Titah Diraja yang telah disampaikan dalam Istiadat Pembukaan Penggal Kelima, Parlimen Kelima Belas tahun 2026.
Kebawah Duli Tuanku turut menyampaikan titah yang sangat tegas mengenai kedudukan bahasa Melayu sebagai teras pendidikan negara dan Baginda menegaskan bahawa bahasa Melayu mesti kekal sebagai bahasa utama dalam sistem pendidikan dan sebarang prakarsa pendidikan yang ingin diiktiraf perlu menerima bahasa Melayu dan Sejarah Malaysia sebagai dasar.
Penekanan terhadap bahasa dan identiti ini bukan semata-mata bersifat simbolik, ia menggariskan keyakinan bahawa sistem pendidikan yang berjiwa kebangsaan adalah kunci dalam membentuk generasi yang bukan sahaja berpengetahuan tetapi sedar akan sejarah nilai dan peranan mereka dalam membina Malaysia yang bersatu padu. Ini selari dengan seruan agar pendidikan menjadi ekosistem menyeluruh yang memupuk perpaduan dan membina kekuatan dalaman negara.
Tuan Yang di-Pertua, izinkan saya memulakan penggulungan ini dengan menyampaikan penghargaan kepada semua Ahli Yang Berhormat yang telah menyumbang kepada perbahasan Belanjawan MADANI tahun 2026 berkaitan pendidikan dan juga yang terkait rapat dengan Titah Diraja Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Sepanjang sesi perbahasan yang berlangsung dari 20 hingga 29 Januari, sebanyak 216 perkara, pertanyaan, isu serta cadangan berkaitan KPM dan pendidikan telah dibangkitkan oleh seramai 83 Ahli Yang Berhormat.
Tuan Yang di-Pertua, izinkan saya mencadangkan juga memandangkan tidak ramai Ahli Yang Berhormat di dalam Dewan ini― tapi, saya buka ruang nantilah, Yang Berhormat sekalian. Mana-mana yang ada berbahas, boleh terus minta untuk bertanya, minta penjelasan dan celahan supaya saya dapat kenal pasti persoalan- persoalan yang dibangkitkan itu.
Semasa peluncuran Rancangan Pendidikan Negara, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri mengumumkan dasar kemasukan awal murid ke Tahun 1 sebagai salah satu langkah transformasi atau lonjakan pendidikan negara mulai tahun 2027.
Langkah ini dilihat sebagai usaha strategik untuk meningkatkan kemahiran asas literasi dan numerasi murid pada peringkat awal, sekali gus menyokong matlamat Rancangan Pendidikan Malaysia 2026-2035 dalam melahirkan generasi pelajar yang cekap, kreatif dan bersedia menghadapi cabaran abad ke-21.
Terdapat empat asas pertimbangan utama yang meletakkan cadangan pelaksanaan umur persekolahan dimulakan pada usia enam tahun sebagai dasar yang relevan dan perlu dilaksanakan segera. Pertama, amalan pendidikan global.
Sebanyak 137 atau 71 peratus negara di seluruh dunia telah memulakan umur persekolahan peringkat rendah pada usia enam tahun termasuk negara serantau seperti Thailand, Singapura dan Brunei.
Kedua, enrolmen prasekolah umur empat ataupun, dengan izin Tuan Yang di-Pertua, four plus, kian meningkat. Data menunjukkan trend peningkatan kadar enrolmen murid prasekolah berumur lima tahun, ataupun dengan izin, four plus yang signifikan dari tahun 2020 ke 2025. Jadi, apa maksudnya? Situasi ini menunjukkan bahawa semakin ramai kanak-kanak di Malaysia telah memasuki prasekolah seawal umur lima tahun yang membolehkan mereka mendapat pendedahan kepada kemahiran literasi asas lebih awal di samping kemahiran bersosial. Persediaan ini menunjukkan kanak-kanak masa ini lebih bersedia dari sudut perkembangan kognitif, emosi dan sosial untuk memasuki sistem pembelajaran secara formal seawal umur enam tahun.
Ketiga, Malaysia menuju negara menua. Faktor ini juga perlu diberikan perhatian agar rakyat Malaysia dipersiapkan dengan ilmu dan kemahiran dan peringkat persekolahan lebih awal untuk kelangsungan hidup yang lebih sejahtera.
Hal ini kerana data menunjukkan tujuh peratus populasi rakyat Malaysia adalah golongan berumur 65 tahun ke atas. Bermaksud, Malaysia sedang menuju ke arah negara menua.
Menteri Pendidikan - Puan Fadhlina binti Sidek
Keempat, bekalan pasaran tenaga kerja, umum mengetahui bahawa produktiviti negara...
Yang Berhormat Tuan Syed Saddiq bin Syed Abdul Rahman - Muar
Yang Berhormat Menteri...
Puan Fadhlina binti Sidek
...amat dipengaruhi oleh sumber manusia atau modal insan yang cekap, memiliki pengetahuan dan kemahiran tinggi, kompetitif serta cekap. Sepanjang tempoh perbahasan ini, ramai ahli Yang Berhormat telah membangkitkan persoalan dan kebimbangan serta kegusaran yang sebenarnya telah mendapat perhatian di peringkat Kementerian Pendidikan Malaysia.
Antara persoalan yang dibangkitkan adalah tahap kesediaan murid, ibu bapa, sumber manusia dan prasarana sekolah bagi menyokong pelaksanaan dasar ini.
Risiko wujudnya kesenjangan akses dan ketidaksamarataan peluang, kebimbangan mengenai tekanan sosioemosi yang mungkin dialami oleh murid dan ibu bapa dan penjelasan mengenai mekanisme kemasukan yang akan digunakan. Untuk makluman Ahli-ahli Yang Berhormat, kerajaan menyediakan pilihan kepada ibu bapa untuk mendaftarkan kanak-kanak berumur enam tahun ke Tahun 1 bermula 2027.
Yang Berhormat Tuan Syed Saddiq bin Syed Abdul Rahman - Muar
Yang Berhormat Menteri...
Puan Fadhlina binti Sidek
Selaras dengan Rancangan Malaysia Ke-13 dan penegasan dalam Rancangan Pendidikan Malaysia, bahawa pendidikan rendah bermula pada umur enam tahun. Silakan Muar.
Yang Berhormat Tuan Syed Saddiq bin Syed Abdul Rahman - Muar
Terima kasih Yang Berhormat Menteri. Pada minggu lepas, Yang Amat Berhormat Timbalan Perdana Menteri ada mengumumkan bahawa prasekolah akan diwajibkan pada umur lima tahun dan akan diintegrasikan dalam sistem sekolah kebangsaan.
Dengan itu, kelas prasekolah itu akan diadakan di sekolah kebangsaan. Kita dah ada ke garis masa pelaksanaan dan sekolah-sekolah kebangsaan yang akan memulakan pilot program untuk sistem prasekolah ini dilakukan dan diwajibkan seperti apa yang diumumkan oleh Yang Amat Berhormat Timbalan Perdana Menteri.
Terima kasih.
Puan Fadhlina binti Sidek
Yang Berhormat, saya ingin memaklumkan bahawa dari segi persediaan itu, sebenarnya jawapan kita dah ada dalam ini. Kalau boleh saya teruskan sehinggalah jawapan itu. Saya ingat kita menegaskan juga bahawa apabila dasar itu telahpun dimaklumkan, maka persiapan itu harus dilakukan dengan mengambil kira semua kohort yang mesti bersedia dan dari segi itu juga di peringkat Kementerian Pendidikan Malaysia, kita telah pun bersedia untuk menerima sumber kohort tersebut.
Dalam masa yang sama Yang Berhormat, kita juga melihat bahawa apabila kohort ini maknanya ada yang akan meninggalkan prasekolah ini, ada satu kali lagi kohort yang akan masuk dan untuk itu kita melihat bahawa penting ketika ini untuk kita maklumkan juga bahawa Kementerian Pendidikan Malaysia, kita bersetuju untuk membenarkan khususnya yang terkait rapat dengan tadika swasta ini bagi melaksanakan dasar membuka aliran enrollment baru murid three plus di tadika swasta yang sebelum ini dihadkan kepada murid four plus dan five plus sahaja.
Jadi, perkara ini memberi peluang kepada tadika swasta untuk terus mempunyai sekurang-kurangnya 2 kohort murid seperti sebelum ini. Jadi persiapan itu mestilah selaras apabila kita memulakan sesi tahun hadapan dengan mengambil kira semua persiapan dan kohort umur tersebut.
Ahli Yang Berhormat sekalian, dari sudut struktur pendidikan, pelaksanaan dasar ini tidak mengubah tempoh persekolahan murid. Ramai yang bertanya sama ada murid memulakan maknanya akan habis tempoh pendidikan mereka. Sama ada murid bermulakan tahun satu pada umur enam atau tujuh tahun, semua murid tetap melalui enam tahun pendidikan rendah dan lima tahun pendidikan menengah selaras dengan struktur pendidikan sedia ada.
Oleh itu, tiada penambahan tahun persekolahan di peringkat rendah dan tiada kesan negatif terhadap keseluruhan laluan pendidikan murid. Kita juga melihat bahawa bagi kemasukan yang flexible ini, kerajaan mempertingkat akses pendidikan prasekolah sepertimana yang saya sebut tadi melalui peluasan kemudahan di sekolah rendah, sekolah menengah, kolej vokasional, kolej matrikulasi dan institusi pendidikan guru.
Pada masa ini, terdapat 10,514 kelas prasekolah di 6,469 institusi dan kerajaan telah membuat peluasan sebanyak 150 kelas pada 2025 dan merancang 350 kelas prasekolah baru pada 2026. Pembinaan bilik darjah tambahan akan diteruskan mengikut keupayaan kewangan negara.
Secara keseluruhan, kapasiti prasekolah kerajaan berjumlah 110,889 tempat merangkumi prasekolah KPM, KEMAS dan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JAPNIN) manakala prasekolah swasta turut menampung sebahagian enrollment. Jadi, kita juga ucapkan terima kasih kepada semua tadika swasta yang telah mendukung agenda pendidikan awal kanak-kanak dan juga terus mendukung dasar-dasar yang telah pun dilaksanakan bagi memastikan anak-anak kita terus mendapat pendidikan yang terbaik dalam negara ini. Bagi memastikan kesiapsiagaan prasarana menjelang pelaksanaan kemasukan murid enam tahun pada 2027, KPM akan melaksanakan langkah-langkah berikut.
Ini yang paling barangkali banyak ditanya oleh Yang Berhormat. Jadi, jawapan pada persoalan dan keresahan ini adalah pertama, KPM akan mengoptimumkan prasarana sedia ada di sekolah. Kedua, kapasiti sedia ada sekolah akan ditingkatkan di mana sebahagiannya akan beroperasi secara dua sesi bergantung kepada pementaan maklumat pendaftaran murid tahun satu 2027 serta kesediaan prasarana sekolah.
Bagi isu ini Yang Berhormat, sebenarnya di peringkat KPM, kita sudah pun boleh menjangka mana-mana kawasan yang akan menjadi tumpuan dan menjadi pilihan ibu bapa untuk mendaftarkan anak di umur enam tahun ini. Jadi, pemetaan itu akan menjadi lebih kemas sebaik sahaja pendaftaran kita buka dan sekarang ini adalah proses untuk kita mempersiapkan secara keseluruhan kapasiti dan juga prasarana sekolah. Sekiranya bersesuaian, bilik-bilik khas di sekolah akan turut dioptimumkan penggunaannya dan ditukar fungsi sebagai bilik darjah tambahan sekiranya memerlukan.
Dalam jangka masa panjang, penambahan prasarana seperti bilik darjah akan dibuat secara berperingkat melalui kaedah Industrial Building System dengan izin berdasarkan keperluan dan situasi setempat. Satu lagi isu yang menjadi perbincangan Ahli-ahli Yang Berhormat adalah berkaitan dengan guru. Pengambilan graduan...
Dr. Radzi Jidin - Putrajaya
Yang Berhormat Menteri, Putrajaya.
Puan Fadhlina binti Sidek
Ya, sila Putrajaya.
Dr. Radzi Jidin - Putrajaya
Sebelum masuk ke pengambilan guru ini, saya ingin sentuh sedikit tentang pendaftaran tadi. Yang Berhormat Menteri sebut bahawa pendaftaran adalah secara sukarela. Dan saya hari itu tanya, sekiranya jumlah yang mendaftar itu jauh melebihi tempat yang ada, bagaimanakah pendekatan yang akan digunakan oleh kementerian untuk memilih siapa yang boleh masuk dan siapa yang tak boleh masuk. Itu satu. Yang kedua adalah, bagaimana bila dia daftar untuk masuk tahun satu pada umur enam tahun, adakah ibu bapa kena daftar juga untuk masuk prasekolah kerana keputusan sama ada masuk atau tidak masih belum tahu lagi. Jadi, ini antara persoalan yang ditanya di luar sana. Terima kasih Menteri.
Dr. Hajah Halimah Ali - Kapar
Speaker dan Menteri. Ini berkaitan tadi Putrajaya tanya yang teori, saya nak tanya yang praktikal. Jadi dia konteksnya sama.
Contoh di Kapar di mana sekolah paling padat di Malaysia di Kapar. Jadi rakyat saya di Kapar, ibu bapa ini tengah berdebar mendengar jawapan daripada Menteri ini.
Kalau Kuala Langat kata dia paling ramai, paling padat 10 kelas Tahun 1. Ini tahun ini. Dan kalau masuk tahun apa umur enam tahun, dia jadi 20 kelas.
Di Kapar ni ada satu sekolah, Sekolah Kebangsaan Binjai, 15 kelas Tahun 1.
So bagaimana dan saya nak tahu lah kepasiannya seperti yang disebutkan oleh Putrajaya tadi kan. Kalau daripada 15 ni kalau nak tambah enam tahun tu, berapa kelas agaknya Sekolah Kebangsaan Sungai Binjai ni yang akan menerima Tahun 1 dan di mana kelasnya, berapa gurunya, what is the process? So, kalau saya apalah tangkap tadi, this idea is saya peribadi tak ada masalah sebab saya umur lima tahun masuk Tahun 1, so I got no problem, Iʼm talking about my rakyat, ya. So, sejauh mana persiapan? Itu saya sebut tadi satu sekolah saja. Belum lagi sekolah kebangsaan apa, Rantau Panjang dan sebagainya. Terima kasih Speaker.
Datoʼ Dr. Ahmad Yunus bin Hairi - Kuala Langat
Menteri, mungkin berkaitan. Boleh saya sebut satu-satu?
Puan Fadhlina binti Sidek
Okey, sila, sila.
Datoʼ Dr. Ahmad Yunus bin Hairi - Kuala Langat
Specifically sekolah di Kebun Baharu Kuala Langat yang mungkin terkecil kalau nak bandingkan mungkin perancangan kerajaan yang lebih besar. Cuma saya melihat Sekolah Kebasaan Kebun Baru ini, pelajar prasekolahnya yang terbesar, sepertimana sedia maklum, 10 kelas. Dan saya melihat kelas, bilik darjah fizikal hanya 38 dan diperlukan 70 lebih yang sepatutnya.
Sekarang berada dalam keadaan dua sesi, termasuklah prasekolah. Enam ke bilik darjah di peringkat pagi dan empat di peringkat petang, di sesi petang. Saya ingat ialah mungkin ada perancangan yang tertentu untuk Sekolah Kebangsaan Kebun Baharu ni dalam menangani jumlah pelajar-pelajar yang akan masuk dan akan datang.
Puan Fadhlina binti Sidek
Terima kasih Speaker. Saya takut lupa soalan...
Dr. Hajah Halimah Ali - Kapar
Sebab kena ambil kira pula yang pergi sekolah agama. Kalau ada dua sesi, yang nak masuk sekolah agama. So macam mana kita nak selaras. Terima kasih. Selangor, ini kan?
Puan Fadhlina binti Sidek
Selangor ini memang padat isu dia. Pertama, bagi menjawab persoalan yang dibangkitkan oleh Putrajaya Puan Speaker, isunya begini, Putrajaya. Kita bersedia untuk maksimum. Maknanya persiapan kita ketika ini maksimum.
Walaupun ada pilihan, persiapan kita maksimum. Mengambil kira pemetaan yang telah pun kita buat dan juga dari segi sambutan yang telah pun kita dapat kenal pasti kawasan-kawasan itu.
Jadi, tidak akan ada maknanya penolakan, siapa yang terima, siapa yang mohon itu kita akan masukkan dan persiapan kita itu maksimum. Itu yang pertama.
Yang kedua, tidak perlu mereka untuk mendaftar ke prasekolah. Maknanya, sebab ini soal pilihan dan kita dah sebut ada jaminan tempat dan persiapan kita juga maksimum. Jadi, ini yang perlu kita kotakan. Maknanya jaminan kita kepada rakyat persiapan itu. Itu yang kedua.
Yang ketiga, ini bagi Kuala Langat dan juga Kapar.
Dr. Radzi Jidin - Putrajaya
Sebelum itu Menteri. Sebelum masuk lebih spesifik kepada sekolah tadi, saya nak penjelasan sikit. Okey. Maknanya tadi, mengikut penjelasan Menteri, sesiapa sahaja yang mendaftar dalam tempoh yang ditetapkan itu, semua pendaftaran itu akan diterima.
Dan untuk ibu bapa yang ada anak sama ada nak masuk prasekolah ataupun Tahun 1, kalau dia memilih untuk mendaftar Tahun 1 pada umur enam tahun, tak perlu dah daftar prasekolah. Terima kasih.
Puan Fadhlina binti Sidek
Kita memang aspect sambutan ini luar biasalah Yang Berhormat, sebab itu persiapan kita maksimum. Saya ambil maklum tentang keprihatinan Kapar dan juga Kuala Langat kerana memang kedua-dua ini antara kawasan yang sangat padat.
Sebab itu dalam jawapan saya tadi, saya tegaskan bahawa bila kita nak memilih sekolah yang akan kita buka kelas-kelas tambahan untuk anak-anak enam tahun ini, perkara pertama yang kita ambil kira adalah kapasiti dan mengoptimumkan prasarana.
Kalau sekolah itu, memang dah tak boleh. Nak buat IBS pun, dah tak boleh.
Jadi, maknanya kita ada pilihan-pilihan sekolah lainlah. Jadi, maknanya sebab itu juga dalam konteks ini kita akan melihat berdasarkan pemetaan itu dan registration itu nanti dan kita akan maklumkan dari semasa ke semasa, bagaimana konteks untuk ibu bapa ini melihat pada sekolah yang sedia ada, yang telah pun bersedia dari segi prasarana untuk menerima pelajar-pelajar kita ini.
Saya ingat untuk Selangor ini sahaja, kita bukan sahaja akan berdepan dengan soal-soal yang dibangkitkan oleh Kapar, tapi juga kita ada komitmen untuk menyelesaikan kepadatan sekolah yang sedia ada pun.
Jadi, sebab itu dalam perancangan kita itu, kita mengambil kira soal kapasiti dan juga prasarana yang boleh kita optimumkan apabila kemasukan ini berlaku. Jadi, insya-Allah kita ada masa selepas pendaftaran bermula, kita akan tahu...
Tuan Mohd Sany bin Hamzan - Hulu Langat
Menteri... Menteri...
Puan Fadhlina binti Sidek
Bagaimana kapasiti-kapasiti ini akan kita susun.
Siapa itu?
Tuan Mohd Sany bin Hamzan - Hulu Langat
Menteri memang tengok ke depan, jadi nampak Kapar dengan Kuala Langat.
Puan Fadhlina binti Sidek
Ya, sila Kuala Langat.
Tuan Mohd Sany bin Hamzan - Hulu Langat
Sebab Menteri sebutkan tadi itu, sekolah padat ni di Kapar dan juga Kuala Langat. Sebab dia pandang depan.
Pandang depan memanglah nampak Kapar dan Kuala Langat itu.
Hulu Langat ini dekat belakang, belah sudut, belah tepi ini kan. Jadi, saya nak sebutkan juga di Hulu Langat ini pun, memang sekolah padat. Di Bandar Seri Putra, di pekan Semenyih tu, satu kelas Kapar, dekat 60 orang pelajar.
Saya bukanlah marah dengan Menteri, tak marah. Cuma bila saya adukan perkara itu kepada Menteri, Yang Berhormat Menteri, saya adu benda itu. Nak sebut Ahli Parlimen itu saya lupa pula nama Parlimen dia. Batu Pahat lah saya sebut, Batu Pahat lah. Batu Pahat.
Saya sebut pada dia, saya mengadu hari Jumaat petang, hari Sabtu pagi itu dah dia dah pergi ke sekolah itu dah luluskan peruntukan 10 kelas tambahan untuk sekolah menengah di Bandar Seri Putra. Terima kasih banyak-banyak. Inilah dia MADANI bekerja.
[Tepuk] Kalau dah begitu punya syarah, punya jek kita punya Menteri, takkan tak dapat sekolah baru lagi. Terima kasih Dato' Speaker. Terima kasih Menteri.
Puan Fadhlina binti Sidek
Dia buat orang debar je Hulu Langat ingat kena marah kan? Okey. Tapi ya, saya kira kita telah pun tangani isu di Hulu Langat dan dalam keadaan sekarang ini memang Selangor, kita sedang memberikan tumpuan untuk menangani isu sekolah padat tersebut. Saya masuk pada isu guru...
Tuan Syed Saddiq bin Syed Abdul Rahman - Muar
Yang Berhormat Menteri, satu soalan tambahan.
Puan Fadhlina binti Sidek
Ya, Muar.
Tuan Syed Saddiq bin Syed Abdul Rahman - Muar
Salah satu perkara baik yang Kerajaan MADANI lakukan adalah untuk mengekalkan dan meningkatkan bantuan awal persekolahan dan dalam mesyuarat jawatankuasa lepas, yang Berhormat Menteri maklumkan setiap tahun, kerajaan membelanjakan RM5.7 bilion.
Pada tahun depan dianggarkan ada kemasukan yang bertambah-tambah, umur lima tahun, umur enam tahun daripada prasekolah ke mengawalkan Darjah 1.
Adakah kerajaan akan kekalkan komitmen bahawa Bantuan Awal Persekolahan ini turut akan diberikan kepada mereka yang berumur enam tahun dan lima tahun ini? Terima kasih Yang Berhormat Menteri.
Puan Fadhlina binti Sidek
Terima kasih Muar. Sebenarnya Muar, pada tahun ini sebenarnya kita telah pun membuat peluasan hingga Tingkatan 6, Muar.
Jadi, kalau itu hasratnya Muar, saya ingat memang sentiasa menjadi permintaan kitalah kepada Kementerian Kewangan untuk memastikan bahawa kalau boleh semua anak-anak kita yang bersekolah ini dapat.
Jadi, saya akan bawa pandangan itu khususnya dan perluasan ini memang berlaku setiap tahun dan insya-Allah kita tengok bagaimana tahun hadapan khususnya dengan kemasukan kohort-kohort yang baru ini. Tuan Speaker...
Datuk Haji Idris bin Haji Ahmad - Bagan Serai
Pengerusi.
Puan Fadhlina binti Sidek
Ada lagi? Bila nak jawab cikgu ini?
Datuk Haji Idris bin Haji Ahmad - Bagan Serai
Apa... terima kasih kepada Yang Berhormat Speaker. Terima kasih kepada Menteri. Kita bukan pertikaikan, saya ingat semua dalam Dewan sama ada sebelah sana atau sebelah sini, soal pelajar-pelajar enam tahun itu tak ada masalah.
Tapi yang kita pertikainya ialah yang kita agak rasa bimbang sikit ialah dari segi masa kerana setahun untuk tahun 2027 nak laksanakan. Yang satu, kohort yang kita faham dia kurang hampir dekat dengan 430,000. 430,000 maknanya 400 pluslah.
400,000 lebih yang melibatkan kelas yang agak banyak.
Realiti yang kita tengok pada hari ini banyak, terutamanya sekolah-sekolah di sekitar bandar. Sekarang ini paksa buat dua sesi ataupun bilangan kelas yang banyak. Tapi, apakah perkara ini sudah difikirkan oleh pihak kementerian sehinggakan untuk dilaksanakan begitu cepat sekali? Ini yang kita nak jawab.
Saya duduk di kawasan, jumpa dengan orang-orang ramai, itulah rintihan mereka, termasuklah guru-guru pun sendiri cakap kepada kita, terima kasih.
Puan Fadhlina binti Sidek
Terima kasih Yang Berhormat. Saya lantik Yang Berhormat sebagai juru cakap MADANI lah untuk terangkan kepada rakyat Yang Berhormat. Begini Yang Berhormat, dia pertamanya kita sama sekali tak boleh Yang Berhormat menganggap bahawa apabila kita membuat dasar ini, ia adalah dasar yang tergesa-gesa, dasar yang gopoh seperti ini kita tidak bersedia. Ia tidak boleh berlaku begitu.
Sebab itu perancangan ini sebenarnya sudah pun bermula semasa pelan pembangunan pendidikan yang lama. Jadi, sesi libat urus, sesi mendapatkan input, jerayawara, sesi kajian empirikal dan kajian-kajian lain juga telah pun berlaku dalam maknanya pelan pembangunan pendidikan yang lama itu.
Dan apabila kita menerajui pelan pendidikan yang baru, pastilah persiapan itu juga sudah pun kita fikirkan. Betul kalau ikutkan semua perancangan ini akan berlaku pada RMK13 mungkin pada tahun 2031.
Tetapi kita mengambil kira bahawa ada persiapan-persiapan dan juga lonjakan itu kita harus segerakan. Sebab itu kita mengambil kira pertama, pilihan itu.
Kita bagi pilihan. Dan ia hanya akan berlaku maknanya soal kalau yang kita bimbangkan ini mungkin maknanya ada sedikit. Maknanya kita jangkakan kalau ada masalah pun, maknanya kita harap dia dapat diselesaikan sepenuhnya 2027 itu.
Maknanya 2028, batch ataupun kohort ini masuk dengan jauh lebih baik. Jadi, sebab itu saya sebut tadi, perancangan kita ini dia tidak boleh datang dengan rasa wasangka ataupun rasa tidak yakin untuk dilaksanakan.
Persiapan kita sebab itu saya sebut tadi, tadi kita dah cerita tentang bagaimana Putrajaya memberikan satu tanggapan kalau ramai, persiapan kita adalah untuk maksimum. Kapar dan Kuala Langat bagi bayangan, ini sekolah padat kami.
Kita juga sudah jawab tadi, makna kita optimumkan prasarana kita, kapasiti kita luaskan dan perancangan-perancangan to IBS itu sudah pun kita gerakkan dengan secepat mungkin bagi memastikan bahawa isu-isu ini dapat kita tangani. Dan sebab itu, isu yang ketiga yang saya rasa penting untuk kita jawab juga adalah tentang guru.
Dr. Radzi Jidin - Putrajaya
Sekejap Yang Berhormat Menteri. Sebelum masuk guru, satu lagi. Sebab tadi saya rasa soalan valid yang ditanya di luar sana, Kapar sebut tadi berkaitan dengan kelas KAFA tadi.
Ini ibu bapa ramai yang tanya, sekiranya dilaksanakan dua sesi, apakah pendekatan kerajaan untuk menangani keadaan di mana ruang-ruang yang ada di sekolah tadi digunakan untuk sesi petang ataupun dah ada alternatif lain untuk tujuan tersebut.
Dan dalam konteks yang sama juga, kalau dalam keadaan itu maknanya di kawasan-kawasan yang sekolahnya memang dua sesi, memang tidak ada pilihan untuk kemasukan Tahun 1 pada umur enam tahun, kalau boleh jelaskan. Terima kasih.
Puan Fadhlina binti Sidek
Sebab itu saya sebut tadi, soal prasarana dan kapasiti ini memang menjadi keutamaan kita. Sebab itu saya sebut tadi, pemetaan itu telah pun berlaku, termasuk kelas-kelas KAFA yang kita lihat sama ada berlaku atau tidak, terjejas ataupun tidak.
Jadi, kita ada masa untuk buat pemetaan itu sehinggalah pendaftaran itu dan saya ambil kira pandangan itu dan mohon maknanya perkara-perkara tersebut, pegawai-pegawai pun ada di belakang untuk mencatat, khususnya kebimbangan yang dibangkitkan oleh Kapar dan juga Kuala Langat itu. Betul. Valid. Dan sebab itu saya kata tadi pemetaan kami itu mesti mengambil kira semua aspek itu. Prasarana itu termasuk yang akan digunakan ataupun sedang digunakan oleh KAFA.
Tuan Yang di-Pertua, boleh saya teruskan? Saya nak jawab juga cikgu ni sebab ini juga banyak yang bertanya. Jadi, pengambilan graduan pendidikan melalui laluan sedia ada seperti Program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan dan Program Diploma Pasca Siswazah Pendidikan, diteruskan seperti biasa, berdasarkan unjuran keperluan tahunan yang diselaraskan bersama sekolah, pejabat pendidikan daerah dan jabatan pendidikan negeri. Laluan ikhtisas pendidikan kekal sebagai teras utama dalam perancangan sumber manusia guru Kementerian Pendidikan.
Pengambilan seramai 20,000 guru baharu yang diumumkan bukanlah untuk menggantikan atau mengetepikan graduan pendidikan daripada universiti awam, institusi pendidikan tinggi swasta dan universiti luar negara. Sebaliknya, merupakan pengambilan tambahan bagi menampung keperluan segera terutamanya untuk sistem pendidikan di sekolah rendah seluruh negara.
Pengambilan COS adalah bersifat bersasar dan sementara bagi menampung keperluan mendesak di sekolah tertentu dan tidak menggantikan perancangan pengambilan berasaskan laluan profesional keguruan.
Laluan kemasukan secara COS tidak menjelaskan standard profesional keguruan. Ini kerana semua calon perlu melalui saringan ketat yang ditetapkan oleh KPM serta Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan. Dan mereka perlu mengikuti program DPP di Institut Pendidikan Guru. Di samping itu, bagi memastikan tahap kualiti guru yang tinggi dan selari dengan kehendak pendidikan negara, guru COS ini akan diberikan dengan izin Continuing Professional Development (CPD) secara berterusan.
KPM memahami kebimbangan graduan pendidikan yang telah membuat pengorbanan besar demi profesional keguruan. Justeru keutamaan kepada graduan bidang pendidikan, calon simpanan serta guru kontrak sedia ada terus diambil kira dalam perancangan pengambilan dan penempatan.
Ambilan guru COS tidak menjejaskan peluang graduan pendidikan untuk ditemu duga, di mana SPP akan tetap melaksanakan temu duga sepanjang tahun berdasarkan kepada keperluan KPM. Calon simpanan dalam kalangan graduan pendidikan pula akan diperaku oleh SPP secara berperingkat berdasarkan keperluan dan kekosongan opsyen di sekolah KPM. Matlamat utama KPM ialah memastikan guru yang mencukupi, berkualiti dan bersedia mengajar sambil memastikan laluan profesional keguruan kekal dihormati dan diperkukuh.
Sebagai langkah jangka masa panjang keperluan guru terlatih, akan terus disediakan menerusi Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan dan Program Diploma Pasca Siswazah Pendidikan.
Untuk maklumat Ahli Yang Berhormat, aspek pembelajaran asas turut diberi penekanan. Ini juga ada yang bertanya tentang bagaimana KPM menyediakan kurikulum untuk menerima anak-anak ini. Jadi, KPM telah menyediakan kurikulum pra-persekolahan 2027.
Dr. Radzi Jidin - Putrajaya
Yang Berhormat Menteri, sebelum kurikulum, saya nak tanya berkaitan dengan pengambilan guru. Disebut oleh pihak kementerian bahawa seramai 20,000 orang guru akan diambil untuk tahun 2027.
Jadi, saya nak tanya soalannya adalah sama ada pengambilan ini semata- mata untuk pertambahan murid Tahun 1 pada umur enam tahun ataupun pengambilan ini adalah pengambilan seperti biasa. Kerana berdasarkan data yang ada dengan saya ni, sebelum ini pun tahun 2023 18,000 ambil. 2024, 13,000, 2025, 20,000. Jadi 20,000 yang disebut tadi on top of guru yang bersara, guru yang pencen awal dan sebagainya ataupun spesifik untuk pengambilan bagi memenuhi Tahun 1 yang bermula pada umur enam tahun. Terima kasih.
Puan Fadhlina binti Sidek
Terima kasih Putrajaya. Putrajaya 20,000 ini memang untuk persiapan 2027. Menerima anak-anak kita yang akan masuk pada tahun hadapan enam tahun itu. Itu 20,000. Memang khusus yang itu. Jadi...
Dr. Radzi Jidin - Putrajaya
Kalau pengambilan tahunan on top of yang 20,000 lah, maknanya pengambilan akan lebih?
Puan Fadhlina binti Sidek
Maknanya 20,000 ini khusus.
Dr. Radzi Jidin - Putrajaya
Okey.
Puan Fadhlina binti Sidek
Kemudian yang lain ni, yang ada sedang simpanan, diploma pendidikan dan sebagainya ini, ini akan isi yang arus perdana ni yang tak cukup guru yang bersara dan sebagainya.
Dr. Radzi Jidin - Putrajaya
Guru bersara dan sebagainya, on top of that ada lagi pengambilan lain.
Puan Fadhlina binti Sidek
Ya, betul.
Dr. Radzi Jidin - Putrajaya
Terima kasih.
Puan Fadhlina binti Sidek
Jadi, sebab itu saya kata persiapan kita maksimum. Jadi, 20 guru ini, 20,000 guru ini, kita pun telah maklumkan dan akan kita latih dengan segera.
Dr. Radzi Jidin - Putrajaya
Yang Berhormat, satu lagi yang ini semua waran semua telah diluluskan oleh JPA, selesai?
Puan Fadhlina binti Sidek
Selesai. Selesai Yang Berhormat.
Dr. Radzi Jidin - Putrajaya
Okey, terima kasih.
Puan Fadhlina binti Sidek
Baik. Kurikulum adalah untuk memastikan semua murid yang memasuki Tahun 1 pada umur enam tahun berupaya menguasai kemahiran asas sebelum melangkah ke tahap seterusnya. Jadi penguasaan literasi, numerasi dan kemahiran pembelajaran asas murid dengan kandungan dan pendekatan yang disesuaikan mengikut tahap kognitif.
Selain itu, perkembangan murid akan dipantau secara berterusan oleh pihak sekolah dan sokongan pembelajaran yang bersesuaian akan diberikan bagi membantu penyesuaian mereka. Pendekatan pedagogi yang diguna pakai dalam bersifat fleksibel dan berfokus kepada tahap kognitif murid bukan semata-mata kepada umum.
Pembelajaran peringkat asas disesuaikan bagi memastikan semua murid termasuk yang mungkin belum mengikuti pendidikan prasekolah berupaya menguasai kemahiran asas yang diperlukan sebelum meneruskan pembelajaran ke tahap seterusnya. KPM menegaskan bahawa prinsip utama pelaksanaan dasar ini adalah mengutamakan kebajikan, perkembangan dan kesediaan kanak-kanak.
Oleh itu, pemantauan berterusan terhadap perkembangan murid akan dilaksanakan oleh pihak sekolah bagi memastikan murid dapat mengikuti pembelajaran dengan baik dan menerima sokongan yang bersesuaian mengikut keperluan mereka. Sepanjang pelaksanaan dasar ini, KPM akan menyediakan sokongan psikososial yang bersesuaian bagi kumpulan murid dan ibu bapa yang memerlukan.
Indera Mahkota tidak ada. Sri Aman ada? Sri Aman ada membangkitkan kekerapan perubahan dasar yang menimbulkan keraguan sama ada keputusan dibuat berdasarkan kajian kukuh. Ini saya sudah sentuh juga tadi bahawa kita mengambil serius dalam setiap dasar dan inisiatif pendidikan tidak dilaksanakan secara cuba jaya.
Sebaliknya, berasaskan kajian, data empirikal, libat urus pihak berkepentingan serta penilaian berperingkat sebelum diperluaskan. Sebarang pelaksanaan baru akan melalui pemantauan rapi dan penambahbaikan berterusan.
Dan KPM sentiasa menilai impak dasar serta bersedia menyemak atau menambah baik pendekatan sedia ada berdasarkan dapatan di lapangan.
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, KPM memberi jaminan bahawa pelaksanaan dasar ini akan dilaksanakan secara berperingkat, terancang dan tidak tergesa-gesa demi memastikan kebajikan murid serta kelestarian sistem pendidikan negara terus dipelihara.
Satu lagi persoalan yang dibangkitkan oleh ramai Ahli Yang Berhormat adalah terkait rapat dengan sistem penilaian baharu dan bagaimana ia dapat menyumbang kepada peningkatan Skor PISA Negara dan sama ada ia bermaksud menggantikan UPSR dan PT3 dan apakah penyesuaian kurikulum yang dirancang agar selaras dengan tujuan peperiksaan tersebut.
Bagi menjawab keresahan Ahli-ahli Yang Berhormat, secara rangkumnya, Sistem Pentaksiran Pendidikan Kebangsaan terus diperkukuh dengan matriks pembelajaran Tahun 4 dan Tingkatan 3. Sistem Pentaksiran Pendidikan Kebangsaan melibatkan dua domain utama iaitu pentaksiran berasaskan sekolah dan peperiksaan pusat.
PBS merangkumi komponen pentaksiran bilik darjah termasuk ujian akhir sesi akademi, pentaksiran pusat, pentaksiran aktiviti jasmani, sukan dan kurikulum dan pentaksiran psikometrik.
Jelas PBS ini bertujuan untuk menyediakan satu set indikator untuk menilai perkembangan dan potensi murid secara holistik, sekali gus memberi fokus ke arah memastikan pendidikan berkualiti serta menyeluruh, adil dan saksama.
Domain kedua dalam Sistem Pentaksiran dan Pendidikan Kebangsaan adalah peperiksaan pusat, iaitu Sijil Pelajaran Malaysia, Sijil Tinggi Agama Malaysia dan Sijil Vokasional Malaysia. Sepanjang murid bersekolah selama 11 tahun, peperiksaan pusat ini merupakan landasan akhir bagi penganugerahan sijil yang membolehkan murid melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi dan juga bagi tujuan permohonan pekerjaan.
Pelaksanaan matriks pembelajaran ini merupakan sebahagian dari ekosistem pentaksiran pendidikan negara dan bukan bertujuan menggantikan UPSR dan PT3. Matriks pembelajaran ini akan diurus sepenuhnya oleh lembaga peperiksaan dan akan dilaksanakan pada Tahun 4 pada Oktober 2026.
Matriks pembelajaran ini dilaksanakan secara berpusat serta mengikut jadual yang akan ditetapkan oleh lembaga peperiksaan. Instrumen serta panduan penskoran akan disediakan dan dicetak oleh lembaga peperiksaan. Guru tidak perlu menyediakan instrumen bagi matriks pembelajaran ini. Begitu juga instrumen ujian akhir sesi akademik bagi mata pelajaran yang terlibat.
Matriks pembelajaran ini membolehkan pencapaian murid dinilai bagi membantu guru, sekolah dan KPM untuk merangka intervensi yang lebih berfokus dan intensif bagi memperkukuh penguasaan literasi, numerasi dan kemahiran saintifik murid.
Puan Fadhlina binti Sidek
Data yang diperolehi daripada matriks pembelajaran ini dapat membantu sekolah dan guru memahami keperluan murid dengan lebih tepat supaya sokongan boleh diberikan lebih awal dan bersasar. Ini bermakna ruang untuk intervensi boleh dilaksanakan semasa murid berada di Tahun 5 dan 6 serta membantu persediaan murid sebelum memasuki sekolah menengah dan bagi menghadapi pentaksiran peringkat antarabangsa seperti TIMSS dan PISA.
Matriks pembelajaran ini— proses gerak kerja ini akan dimulakan dengan pembinaan item serta mesyuarat pengoperasian di peringkat kebangsaan, negeri, daerah dan sekolah pada bulan April 2026. Fasa seterusnya menumpukan kepada proses percetakan dan penghantaran instrumen pentaksiran ke bilik kebal dalam bulan Ogos hingga September 2026. Jadi secara keseluruhannya ia bukan menggantikan UPSR dan PT3 tetapi adalah...
Tuan Syed Saddiq bin Syed Abdul Rahman - Muar
Yang Berhormat Menteri.
Puan Fadhlina binti Sidek
...Ini adalah matriks pembelajaran yang baru untuk membuat persiapan-persiapan penting khususnya melakukan intervensi dan justifikasi kita untuk persiapan anak-anak kita menghadapi pentaksiran di peringkat antarabangsa. Sila Muar.
Tuan Syed Saddiq bin Syed Abdul Rahman - Muar
TIMSS dan PISA adalah dua cara di mana kita menguji kebolehlaksanaan, kejayaan salah sebuah pelan pendidikan dalam satu dekad bagi kerajaan. Jelas sasaran yang dikeluarkan dalam 10 tahun yang lepas jauh tersasar bila kita benchmark dengan OECD dan apa yang kita sendiri letakkan sebagai sasaran kita about 10 to 15 years ago. Persoalan saya, adakah kementerian akan lakukan kajian yang terperinci untuk memahami mengapa kita gagal untuk mencapai sasaran tersebut? Dengan itu, memastikan bahawa punca kegagalan tersebut tidak akan diteruskan dalam Rancangan Pendidikan Malaysia yang baru. Terima kasih.
Puan Fadhlina binti Sidek
Terima kasih Yang Berhormat. Suka untuk saya menjelaskan Yang Berhormat bahawa pentaksiran TIMSS dan PISA; dan sebenarnya kita ada satu lagi, CPLM di peringkat sekolah rendah adalah pentaksiran yang bagi kita sangat penting sekurang-kurangnya untuk kita ada dengan izin, benchmarking apa yang kita ingin lihat dari segi bagaimana anak-anak kita berupaya menguasai beberapa aspek dan melihat bagaimana prestasi mereka.
Apa pengajaran kita selepas kita dapat keputusan yang sebelum ini Yang Berhormat? Iktibar untuk kita sangat besar. Pertama adalah soal bagaimana kita perlu menyiapkan anak-anak kita ini juga untuk persiapan masa hadapan. Dari segi cara menjawab juga sudah berbeza Yang Berhormat. Dulu still pencil and papers dengan izin. Tapi sekarang sudah pun menggunakan teknologi. Jadi, anak-anak kita harus dipersiapkan dengan itu. Itu yang pertama.
Yang kedua adalah bagaimana kita melihat selepas keputusan-keputusan ini, apa lonjakan-lonjakan yang harus kita lakukan? Jadi, inilah yang antara perkara penting yang kita ambil kira Yang Berhormat membawa matriks pembelajaran ini sebagai satu lagi aspirasi pendidikan untuk memperkukuhkan mereka di peringkat antarabangsa. Jadi, kita ada dua tahun untuk intervensi.
Kita juga Yang Berhormat telah menubuhkan satu jawatankuasa di peringkat antarabangsa bagi peringkat assessment antarabangsa. Yang mana jawatankuasa ini Yang Berhormat, bukan sahaja kajian, tetapi juga menggunakan semua instrumen yang ada untuk melakukan intervensi bagi kita menghadapi anak-anak kita membuat persiapan untuk TIMSS dan PISA. Apa cabaran kita untuk TIMSS dan PISA ini Yang Berhormat?
Nombor satu adalah sampling. Kita tidak ada upaya untuk menentukan sekolah mana. Kalau kita ada upaya untuk menentukan sekolah mana untuk ambil TIMSS dan PISA, senang kerja kita. Mungkin kita bagi SBP sahaja. Jadi senang skor kita meningkat. Tetapi kita tidak ada upaya untuk menentukan sekolah mana dari segi sampling itu. Jadi GIATMARA, sekolah agama, semua terlibat.
Jadi, sebab itu tumpuan kita juga mempersiapkan jawatankuasa ini adalah untuk melihat bagaimana persiapan-persiapan di peringkat sekolah-sekolah. Jadi kita lakukan latihan kepada guru-guru dengan membolehkan guru-guru menyesuaikan, maknanya pengajaran mereka itu mengikut bagaimana TIMSS dan PISA, soalan TIMSS dan PISA ini.
Dan juga kita sedang melihat bagaimana kita boleh terlibat sebagai PISA school Yang Berhormat. Jadi bila ada PISA schooling kalau kita terlibat, belanjanya pun hebat, jadi kita sedang melihat sama ada keperluan itu ada untuk bagi membolehkan kita juga membuat persiapan-persiapan dan terpilih dalam PISA school ini bagi membolehkan kita terlibat penuh dan mendapat manfaat, khususnya anak-anak dan guru-guru kita.
Tuan Wan Ahmad Fayhsal bin Wan Ahmad Kamal - Machang
Yang Berhormat Menteri.
Puan Fadhlina binti Sidek
Ya, sila Machang.
Tuan Wan Ahmad Fayhsal bin Wan Ahmad Kamal - Machang
Saya ada tanya berkenaan dengan berkaitan Rancangan Makanan Tambahan.
Puan Fadhlina binti Sidek
Ya.
Dr. Radzi Jidin - Putrajaya
Yang Berhormat Menteri, sebelum RMT saya nak sentuh sikit berkaitan dengan matriks pembelajaran. Saya ada tanya hari itu, adakah ini bermakna pelaksanaan matrik pembelajaran ini secara berpusat di mana peperiksaan akan diadakan dalam tempoh tertentu? Contohnya, bahasa Malaysia, bahasa Melayu akan diadakan pada hari sekian-sekian, tarikh sekian-sekian dan soalannya akan sama di seluruh negara. Mohon penjelasan. Terima kasih.
Puan Fadhlina binti Sidek
Urusan lembaga...
Datuk Che Mohamad Zulkifly bin Jusoh - Besut
Menteri, Menteri.
Puan Fadhlina binti Sidek
Kejap la, bagi hal saya jawab dulu untuk Putrajaya.
Datuk Che Mohamad Zulkifly bin Jusoh - Besut
Yalah. Ada, ada jawapan tak untuk Besut?
Puan Fadhlina binti Sidek
Sekejap.
Datuk Che Mohamad Zulkifly bin Jusoh - Besut
Ada tak?
Puan Fadhlina binti Sidek
Sekejap, sekejap. Soalan itu sebab itulah Yang Berhormat ia diurus oleh Lembaga Peperiksaan. Jadi, soalan Bahasa Melayu, Sejarah— Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains. Semua akan diuruskan oleh LP. Mereka akan periksa secara berasingan kerana ini saja periksa yang berpusat bulan Oktober ini. Tapi subjek-subjek lain akan berlaku dalam UASA seperti biasa. Okey, jelas?
Ya, soalan Machang. Machang RMT Machang ya. Saya ingat jawapan itu ada— Machang ingat tak soalan apa tanya? Sementara saya mencari.
Tuan Wan Ahmad Fayhsal bin Wan Ahmad Kamal - Machang
Di mana keutamaan kementerian sebabnya antara masalah utama ialah masalah terbantut kanak-kanak atau pelajar-pelajar kita. Jadi, apa polisi ataupun solusi?
Puan Fadhlina binti Sidek
Ya, baik. Terima kasih Machang. Sebenarnya untuk RMT ni Machang, kita sudah pun melaksanakan— selepas ia berlangsung begitu lama Machang, tidak ada kajian yang betul-betul kajian impak untuk melihat keberkesanan isu RMT ini dan sebaik saja saya ambil alih, kita lakukan kajian itu.
Dan dalam kajian itu, memang ada maksudnya progresif maknanya dari segi impak RMT ini. Tapi dalam masa yang sama, kebimbangan kita adalah melihat kepada juga isu yang dibangkitkan itu. Dan sebenarnya ada yang kita telah pun kerjasama kita dengan KKM untuk melihat bahawa isu bantut dan isu nutrisi ini diberikan perhatian oleh kerajaan dengan lebih serius lagi.
Untuk itu, perluasan RMT bukan sahaja berlaku di peringkat sekolah rendah seperti yang kita tahu, tapi juga telah berlaku di peringkat prasekolah. Kemudian dengan inisiatif, dengan bersama dengan rakan-rakan sinergi yang lain termasuk korporat, sekolah menengah juga kita luaskan untuk itu. Pendekatan kita untuk atasi bantut ini adalah melalui satu lagi pendekatan yang baru kita persetujui melalui kurikulum pendidikan awal kanak-kanak yang mana antara perkara yang telah kita beri tumpuan adalah soal bantut ini. Maknanya daripada awal Yang Berhormat, maknanya pendidikan awal anak-anak itu bermula sahaja kurikulumnya itu, ia akan terus berada dalam radar kita, dalam kurikulum itu. Berkaitan dengan bantuan ini.
Tuan Suhaizan bin Kaiat - Pulai
Menteri, Menteri, Pulai.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Yang Berhormat Menteri, sila gulung.
Puan Fadhlina binti Sidek
Ha dah?
[Ketawa]
Datuk Che Mohamad Zulkifly bin Jusoh - Besut
Besut belum menjawab, dah Pulai pula.
Tuan Suhaizan bin Kaiat - Pulai
Ini Pulai sikit je.
Datuk Che Mohamad Zulkifly bin Jusoh - Besut
Besut nak jawab tak ini, agak-agak?
Tuan Suhaizan bin Kaiat - Pulai
Sikit je Pulai.
Puan Fadhlina binti Sidek
Saya ingat. Tak apa Besut, jawapan Besut itu ada dalam ini. Saya akan berikan secara bertulis sebab saya dah diminta.
Tuan Haji Mohd Hasnizan bin Harun - Hulu Selangor
Hulu Selangor juga ya jawapan bertulis.
Seorang Ahli
Besut duduk Besut.
Puan Fadhlina binti Sidek
Igan pun ada, Igan pun panjang jawapannya.
Datuk Che Mohamad Zulkifly bin Jusoh - Besut
Alah jangan la kasar sangat dengan wanita.
Puan Fadhlina binti Sidek
Igan sangat panjang.
Tuan Haji Mohd Hasnizan bin Harun - Hulu Selangor
Hulu Selangor juga minta jawapan bertulis.
Tuan Haji Ahmad Johnie bin Zawawi - Igan
Mohon jawapan bertulis.
Datuk Che Mohamad Zulkifly bin Jusoh - Besut
Kita lembut dengan wanita kan?
Puan Fadhlina binti Sidek
Jadi, saya...
Datuk Che Mohamad Zulkifly bin Jusoh - Besut
Tak macam Hulu Langat itu.
Puan Fadhlina binti Sidek
Saya ucapkan terima kasih kepada semua.
Soalan-soalan yang dibangkitkan itu ada yang tidak sempat saya sentuh kerana kebanyakan persoalan telah pun dibangkitkan dalam isu-isu yang terkait dengan Rancangan Pendidikan Malaysia.
Saya bagi jaminan kepada Igan saya akan jawab secara bertulis Igan soalan- soalan dibangkitkan. Sebab sebenarnya isu yang Igan bangkitkan dan beberapa Ahli Dewan Rakyat bangkitkan itu sangat penting, khusus untuk murid pendidikan khas.
Tapi kekangan masa itu, tapi saya akan jawab dengan Igan secara bertulis dengan segera.
Jadi, saya ucapkan terima kasih pada semua dan saya harap semua Ahli Yang Berhormat boleh mendukung rancangan pendidikan kita ini. Abaikan apa sahaja khilaf ataupun dari segi maknanya pandangan kita ini mungkin berbeza dalam banyak perkara tapi dalam soal pendidikan itu kita tidak boleh berbeza. Kita kena jayakan rancangan pendidikan ini bersama-sama dan saya jemput semua Ahli Yang Berhormat sekiranya ada persoalan-persoalan ataupun isu-isu yang perlukan penjelasan, pihak Kementerian Pendidikan Malaysia sedia untuk memberikan penjelasan tersebut. Jadi, sekali lagi saya ucapkan terima kasih kepada semua.
Mohon untuk mendukung Rancangan Pendidikan Malaysia. Terima kasih Puan Speaker.
[Tepuk]
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Terima kasih Yang Berhormat Menteri Pendidikan. Ahli-ahli Yang Berhormat, Mesyuarat Dewan hari ini ditangguhkan sehingga jam 10 pagi hari Isnin 9 Februari 2026. [Mengetuk tukul]
[Dewan ditangguhkan pada jam 6.19 petang]