Katalog Hansard
[Tuan Yang di-Pertua **mempengerusikan Mesyuarat****]
Tuan Yang di-Pertua
Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh dan salam pagi. Ahli-ahli Yang Berhormat, Persidangan Parlimen yang Kelima Belas, Penggal Kelima yang diadakan bersama di antara Dewan Negara dan Dewan Rakyat sekarang berlangsung. Persidangan ini adalah di bawah Perkara 60 Perlembagaan Persekutuan, di mana Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong akan bertitah kepada Ahli kedua-dua Majlis Parlimen bersesama.
Sekarang, saya tempohkan persidangan buat sementara waktu untuk menyambut keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Persidangan ditempohkan.
[Mesyuarat ditempohkan pada pukul 10.36 pagi]
[Mesyuarat disambung semula pada pukul 10.40 pagi]
Tuan Yang di-Pertua
[Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke Dewan Mesyuarat dan bersemayam di Peterana Diraja] [Yang Amat Berhormat Perdana Menteri mempersembahkan Titah Diraja kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong]
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah. Segala puji bagi Allah, Tuhan pentadbir seluruh alam. Selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad, semulia-mulia Rasul serta keluarga dan para sahabat-sahabatnya sekalian.
Yang di-Pertua Dewan Negara, Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Ahli-ahli Dewan Negara dan Dewan Rakyat, saudara saudari yang saya hormati sekalian.
Alhamdulillah, syukur saya ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan izin-Nya dapat saya hadir ke Istiadat Pembukaan Penggal Kelima, Parlimen Kelima Belas pada pagi yang mulia ini.
Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan tahniah di atas kejayaan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun lalu dan penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 di Kuala Lumpur.
[Tepuk] Syabas juga saya ucapkan, walaupun dunia menghadapi pelbagai cabaran namun Malaysia masih berjaya mencatat pertumbuhan ekonomi positif sebanyak 4.7 peratus pada tahun lalu dengan kadar pengangguran dan inflasi kekal rendah serta kemiskinan tegar berada pada paras 0.09 peratus.
Tahun ini adalah merupakan permulaan Rancangan Malaysia Ketiga Belas.
Saya mahu Rancangan ini memberi tumpuan kepada kesejahteraan rakyat, terutama dalam bidang pendidikan, perumahan, kesihatan dan pengangkutan awam. Suka saya ingatkan di sini, segala perancangan dibuat tidak akan sempurna jika amalan rasuah masih berleluasa.
Saya pernah sebut dahulu yang saya datang ke Kuala Lumpur untuk memburu perasuah dan nampaknya, saya telah berjaya.
[Tepuk] Saya amat kecewa apabila berlakunya kes rasuah dalam Angkatan Tentera Malaysia sampai peringkat tertinggi. Agaknya selepas ni saya terpaksa lantik sarjan saja jadi PAT. Ini hanyalah sekelumit daripada segunung atau tip of the iceberg. Saya yakin ada ramai lagi di luar sana, sama ada di jabatan kastam, imigresen, polis dan sebagainya serta termasuk juga yang berada dalam Dewan yang akan terus diburu sampai jumpa.
Amalan rasuah mesti diperangi secara besar-besaran. Rakyat harus menjadi mata-mata dan melaporkan sebarang bentuk jenayah rasuah. Bukan sahaja penerima yang patut disiasat, tetapi pemberian rasuah dan ejen yang bersubahat juga mesti dikenakan tindakan.
[Tepuk]
Pihak SPRM mesti jalankan siasatan dengan cepat, tegas dan sempurna tanpa mengira pangkat atau kedudukan. Kerajaan juga perlu menyediakan hakim yang berpengalaman dan laluan khas di mahkamah supaya perbicaraan kes rasuah dapat diselesai dengan segera.
Kepada semua Ahli Yang Berhormat dan penjawat awam, ingatlah bahawa jawatan yang disandang adalah amanah rakyat dan negara. Jika awak menyalah guna kuasa, menyeleweng dana awam, menerima rasuah atau bersubahat melindungi perasuah, awak adalah pengkhianat negara.
Selain dari itu, negara turut berhadapan dengan ancaman moden terhadap keselamatan digital, integriti maklumat serta teknologi deepfake yang mampu membuka ruang kepada kes penipuan dan menggugat kestabilan sosial.
Ancaman jenayah berat dan keganasan serta perbuatan yang menyentuh 3R hendaklah juga ditangani dengan berkesan. Oleh yang demikian, undang-undang berhubung keselamatan negara dan ancaman luar negara wajar diwujudkan segera kerana hanya dengan cara ini keharmonian antara semua kaum dan kedaulatan negara akan sentiasa terpelihara.
Saya turut mengalu-alukan usaha bagi mengukuhkan undang-undang berkaitan pilihan raya, institusi demokrasi dan pendanaan politik. Ini termasuk usaha untuk mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 2 penggal [Dewan tepuk] atau 10 tahun. Mengasingkan peranan Peguam Negara dan pendakwa raya
[Dewan tepuk]
, pengenalan Akta Kebebasan Maklumat
[Dewan tepuk]
dan institusi ombudsman.
Sistem pendidikan negara juga perlu terus diperkasa sebagai asas pembinaan bangsa, jati diri dan masa hadapan negara. Jika hendak buat sistem pendidikan yang baharu, ia nya mesti dibuat selari dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan dan Bahasa Melayu mesti menjadi bahasa utama kerana ia nya adalah
[Dewan tepuk]
bahasa kebangsaan. Oleh itu, sebarang usul untuk mengiktiraf apa juga sistem pendidikan lain mesti terima Bahasa Melayu dan sejarah Malaysia. Kalau ada yang tidak terima Bahasa Melayu, lebih baik jangan duduk di Malaysia. [Dewan tepuk] Saudara-saudari sekalian, asas kepada pembentukan Malaysia adalah menerusi Perjanjian Malaysia 1963. Ia telah menyatukan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak sebagai sebuah negara. Kita sewajarnya kembali kepada niat asal
pembentukan Malaysia iaitu perpaduan dan hormat-menghormati serta kerjasama erat antara negeri-negeri dan Kerajaan Persekutuan.
Yang Berhormat sekalian hendaklah lebih berhati-hati supaya tidak menghasut sampai wujud ketegangan antara wilayah. Sebarang perbezaan pandangan haruslah diselesaikan secara matang dan bukan menerusi kebencian atau syak wasangka. Last,
[Dewan tepuk]
hakikatnya hak-hak negeri perlu sentiasa dihormati. Namun begitu, kepentingan Malaysia secara bersama hendaklah sentiasa diutamakan.
Saya juga ingin mengingatkan kepada semua Ahli-Ahli Yang Berhormat bahawa setiap perbahasan, keputusan dan undian yang dibuat di dalam Dewan ini bukan hanya merupakan pendirian politik parti tetapi bakal menentukan masa depan kita. Oleh itu, laksanakan tugas ini dengan penuh amanah, bijaksana dan bertanggungjawab demi kepentingan seluruh rakyat.
Akhir kata, marilah kita sama-sama berdoa agar Malaysia terus maju dan makmur, aman damai serta seluruh rakyatnya menikmati kehidupan yang sempurna, bahagia dan sejahtera.
Sekian, wabillahitaufik walhidayah, wassalamualaikum warahmatullah wabarakatuh.
[Dewan tepuk]
Bagi minum air sedikit dahululah.
[Dewan ketawa]
[Doa Selamat dibacakan oleh Sahibus Samahah Mufti Wilayah Persekutuan, Tuan Ahmad Fauwaz bin Ali @ Fadzil]
[Dewan ditangguhkan pada pukul 10.59 pagi]
[Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong berangkat meninggalkan Majlis Parlimen]