Katalog Hansard
[Tuan Yang di-Pertua **mempengerusikan Mesyuarat****]
Tuan Yang di-Pertua
Assalamualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh.
Salam sejahtera. Dengan ini dipersilakan Yang Amat Berhormat Menteri Kewangan untuk kemukakan rang undang-undang ini. Silakan.
Menteri Kewangan - Dato' Seri Anwar bin Ibrahim
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Tan Sri Yang di-Pertua, saya mohon mencadangkan bahawa rang undang-undang bernama suatu akta bagi mengeluarkan sejumlah wang dari kumpulan wang disatukan untuk perkhidmatan bagi tahun 2026 dan bagi memperuntukkan jumlah wang itu untuk perkhidmatan bagi tahun itu dibacakan kali kedua sekarang.
Tuan Yang di-Pertua
Silakan.
Dato' Seri Anwar bin Ibrahim
[Membaca kata-kata aluan dalam bahasa Arab] Tan Sri Yang di-Pertua, Ahli-ahli Yang Berhormat serta rakyat yang mengikuti sidang, belanjawan tidak hanya menghidangkan angka serta perangkaan perbelanjaan. Tidak juga satu lembaran teknikal yang hanya berbicara soal fiskal dan tahap kesihatan kewangan negara.
Malah belanjawan adalah sebuah pernyataan moral, sebuah ikrar sejarah dan sebuah perjanjian yang tulus dan luhur antara kerajaan dan rakyat terbanyak.
Firman Allah SWT, [Membaca sepotong ayat Al-Quran] Maksudnya, “berikanlah kepada kerabatmu dan orang miskin serta orang musafir akan hak masing-masing dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan keadaan yang boros, membazir yang melampau-lampau. Sesungguhnya orang yang membazir itu ialah saudara syaitan dan syaitan itu pula ialah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya”.
Maka Belanjawan MADANI keempat ini mencakup persoalan serta cabaran ekonomi semasa, selain menyusun dan merangka jalan bagi mengelak kebejatan dan keterlanjuran. Kita menolak budaya menumpuk hutang tanpa kawalan. Kita melawan ketirisan dan kebobrokan. Dan kita benci kemewahan kelompok elit yang dibayar dengan kesengsaraan rakyat.
Sementelahan kita memilih jalan yang berliku, sukar dan panjang, yakni jalan reformasi, disiplin fiskal yang tegas dan pengukuhan institusi kerana hanya jalan itu sahaja dapat menjamin negara ini dapat diselamatkan dalam tempoh jangka panjang.
[Tepuk] Saat dunia dibadai perang tarif, pentas geopolitik yang terus berantakan, krisis iklim yang memburuk dan kebangkitan teknologi baru yang pantas bergerak, maka Malaysia tidak seharusnya sekadar bungkam dan berpeluk tubuh. Kita mesti berani memikul tanggungjawab persejarahan. Sama seperti Empayar Melaka yang pernah berdiri sebagai kosmopolitan yang adil sebagai tatanan hukum. Giliran kita untuk membuktikan bahawa Malaysia yang relatifnya kecil dari segi geografi, mampu menjadi besar dan matang dari segi pengaruhnya tidak hanya melalui kekuatan ketenteraan tetapi dengan kekuatan moral, keadilan sosial dan ekonomi yang kukuh.
Belanjawan pada kali ini juga menandakan lembaran pertama Rancangan Malaysia Ketiga Belas yang tidak sekadar berfungsi sebagai perencanaan kewangan tahunan tetapi merupakan kompas sejarah untuk era mendatang. Belanjawan MADANI keempat adalah saksi bahawa kita memilih jalan kebangkitan dan pembaharuan nasional, national regeneration yang menyeluruh.
Menghampiri tiga tahun pentadbiran MADANI, reformasi setiap pembaharuan yang berani dan tuntas telah kita laksanakan sedaya upaya kita dan mula menghasilkan anjakan yang membanggakan, terutama pada siling pertumbuhan negara dan lantai kesejahteraan rakyat.
Justeru, mengapa sering ditekankan soal tatakelola? Jawabnya, langkah- langkah seperti undang-undang, Rang Undang-undang Perolehan Kerajaan, Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal dan pindaan Akta Audit membantu meningkatkan keyakinan pelabur, melonjak indeks daya saing negara sehingga 11 anak tangga, mengukuh nilai Ringgit dan akhirnya lebih penting menjana pekerjaan baru untuk rakyat, menurunkan kadar pengangguran kepada 3 peratus iaitu yang terendah dalam tempoh sedekad.
[Tepuk]
Dato' Seri Anwar bin Ibrahim
Mengapa ditumpukan ke arah penguatkuasaan yang lebih tegas kerana rasuah, penyelewengan dan ketirisan merugikan negara. Penguatkuasaan tanpa pilih kasih dapat mengembalikan hasil negara yang hilang berbilion Ringgit dan ini dapat membiayai dan menyegerakan pelaksanaan projek seperti Rancangan Tebatan Banjir dan Pan-Borneo Sabah dan Sarawak.
Mengapa kerajaan bersusah payah menyasarkan subsidi? Kerana subsidi pukal selama ini tiris kepada warga asing dan syarikat besar.
[Tepuk] Subsidi sepatutnya hak dan keistimewaan yang mesti dinikmati rakyat Malaysia. Disebabkan penjimatan subsidi diesel, kita dapat meringankan hidup rakyat melalui ikhtiar seperti SARA, untuk semua yang diluncurkan Ogos lalu.
[Tepuk] Kerangka besar MADANI adalah untuk rakyat, memastikan kita punyai kemampuan menyediakan kemudahan untuk rakyat, mencipta pekerjaan, menjana pendapatan dan meringankan kos sara hidup. Sayugia mengangkat tema Belanjawan MADANI Keempat, Belanjawan rakyat setelah berani mengusung reformasi, kini masa memulangkan hasil kepada rakyat.
Selaku Belanjawan sulung yang menyemangati Rancangan Malaysia Ketiga belas, Belanjawan 2026 menetapkan sembilan tekad utama berpaksikan tiga tonggak ekonomi MADANI. Pertama, meluhur tatakelola terbaik. Tan Sri Yang di- Pertua, pentadbiran MADANI harus membina kecekapan fiskal, menutup ruang ketirisan dan memperkukuh institusi negara dalam usaha menaikkan siling ekonomi dan lantai hidup rakyat. Peruntukan Belanjawan 2026 menetapkan KDNK separuh pertama berdasarkan pengalaman iaitu KDNK separuh pertama tahun 2025 telah mencatat pertumbuhan memberangsangkan iaitu 4.4 peratus.
Kendatipun diasak perang tarif Amerika Syarikat, unjuran semula KDNK 2025 antara 4 hingga 4.8 peratus membuktikan ekonomi kita kekal berdaya tahan. Bagi tahun 2026, ekonomi kita diunjur berkembang lebih rendah antara 4 hingga 4.5 peratus. 4.5 peratus. Ini susulan ketidaktentuan ekonomi dunia dan sengketa geopolitik, geoekonomi yang berterusan. Sambil mengekalkan komitmen pada FRA, momentum pertumbuhan terus didukung dasar fiskal yang mengembang.
Belanjawan 2026 akan mengumpul dan mengoptimum sumber negara termasuk dana GLIC, Badan Berkanun Persekutuan dan Syarikat MKD melalui perbelanjaan awam berjumlah RM470 bilion berbanding RM452 bilion tahun lalu.
Ini meliputi RM338.2 bilion belanja mengurus, RM81 bilion belanja pembangunan, RM30 bilion pelaburan GLIC, RM10 bilion pelaburan awam swasta dan RM10.8 bilion pelaburan Badan Berkanun Persekutuan dan syarikat MKD.
Lantaran komitmen Kerajaan MADANI memaknai tatakelola bagai diperkenal, FRA dan kini ditambah RUU Perolehan Kerajaan yang sebenarnya mengikat kuasa Menteri Kewangan kerana masih boleh didakwa dan dipantau oleh tribunal.
Di bawah MADANI, kita telah menurunkan defisit fiskal, 2022 – 5.5 peratus, 2023 – 5 peratus, 2024 – 4.1 peratus, 2025 – 3.8 peratus dan insya-Allah 2026 akan menurun lagi kepada 3.5 peratus.
[Tepuk] Menurun defisit ini bermakna jumlah hutang baharu turun dan terkawal, 2022 – RM100 bilion, 2023 – RM92 bilion, 2024 – RM77 bilion, 2025 – RM77 bilion dan diusahakan turun lagi tahun ini dengan disiplin berterusan defisit fiskal 3 peratus mampu dicapai dalam jangka sederhana.
Pada tahun depan, insya-Allah kutipan hasil Kerajaan Persekutuan dianggarkan meningkat kepada RM343.1 bilion, ketimbang RM334.1 bilion unjuran tahun ini. Lazimnya apabila diperlukan perbelanjaan tambahan untuk prasarana dan bantuan rakyat akan dikenakan cukai tambahan. Itu biasa hukum ekonomi, tetapi kerajaan memilih di sebaliknya. Membaiki tatakelola termasuk penyasaran subsidi tanpa menambah beban rakyat.
[Tepuk] Dengan menggunakan kaedah sedemikian, kita berjaya melaksanakan langkah pembanterasan rasuah, mengekang penyeludupan serta memecah tembok dan melumpuhkan kartel. Sejak di bawah MADANI, badan-badan penguat kuasa, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia tabik kepada mereka, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup
(KPDN), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), dan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC).
Tan Sri Yang di-Pertua, ambil perhatian kerana berapa terjumlahnya yang kita capai, perolehi dari rampasan dan kutipan penalti. Rekod dalam sejarah kita dan rantau kita. Penalti yang dirampas dan kutip untuk 2023 dan 2024, maaf 2024–2025 mencecah hampir RM15.5 bilion.
[Tepuk] Terbaru, PDRM berjaya menumpaskan sindiket haram terancang di Pulau Pinang dan Pelabuhan Klang.
Demikian maksud kami, nak kena faham itu maksudnya tatakelola dalam pemerintahan, RM15 bilion yang telah lesap ke mana bertahun-tahun, sekarang dapat kita rampas daripada dan untuk memberikan faedah kepada rakyat.
Bayangkan? Berapa lama puluhan tahun dibiarkan begitu rupa. Bayangkan dua tahun RM15.5 bilion yang hanya dikutip. Untuk apa kita kenakan cukai lagi kalau benar kita dapat elakkan ketirisan, mengelakkan rasuah dan penyelewengan.
Tidak dapat dimungkiri bahawa segala ketirisan yang telah terbiar sekian lama kerana kurangnya tekad politik selain daripada retorik bicara, ini tindakan yang kita ambil selama ini, *alhamdulillah.
[Tepuk]*
[Dewan riuh]
Dato' Seri Anwar bin Ibrahim
Tuan Yang di-Pertua, ini yang disebut dalam Montesquieu, “Kuasa tanpa pertanggungjawaban adalah permulaan kepada kezaliman”. Maka pada tahun depan, kita tambah keupayaan badan penguat kuasa ini SPRM, PDRM, KPDN, JKDM dan MyCC melalui latihan, perolehan aset dengan peruntukan. Kalau mereka dah berjaya mengumpulkan RM15.5 bilion yang dahulunya terselerak di merata tempat, apa salahnya kita tambah RM700 juta untuk mereka*.
[Tepuk]* JKDM akan perkenalkan setem cukai digital dengan ciri keselamatan di peringkat bagi membendung pemalsuan, serta menangani ketirisan di pintu masuk negara melalui centralised screening complex (CCTV). Ikhtiar e-Invois dilaksanakan secara menyeluruh mulai 2026, serta sistem taksir sendiri duti setem bagi memupuk pematuhan cukai.
Terdapat pemilik kenderaan mewah. Ha, ini satu perkara lagi. Kenderaan mewah. Entah, saya pun tak berapa fasih dengan nama-nama mobil ini tetapi yang sekian lama mengambil kesempatan daripada pengecualian cukai kenderaan di Langkawi. Bagi mengekang ketirisan, pengecualian cukai kenderaan di Langkawi dihadkan kepada nilai kenderaan tidak melebihi RM300,000 berkuat kuasa 1 Januari 2026.
Alasannya ialah kerana orang-orang maha kaya ini beli mobil ini dan menggunakan kelonggaran bawa dan kekalkan, dah bertahun-tahun sehingga harganya turun.
Dato' Seri Anwar bin Ibrahim
Tujuan asalnya itu adalah untuk memberi kemudahan di Langkawi, kemudahan di Langkawi tapi sekarang, digunakan oleh golongan kaya untuk lari daripada pembayaran cukai. Sebab itulah kita ambil tindakan yang agak tegas kali ini.
Pasukan Petugas Khas Reformasi Agensi (STAR) membuktikan pembaharuan tatakelola dapat dilaksanakan segera tanpa perlu melantik perunding luar. Tahniah kepada pasukan STAR di bawah pimpinan Ketua Setiausaha Negara.
[Tepuk] Dan, kita tetapkan supaya pasukan ini diberi kekuatan, termasuk usaha pendigitalan menyeluruh dalam urusan rakyat. MyDigital ID diperluas ke sektor utama seperti kewangan, telekomunikasi, e-dagang dan kesihatan. Melalui kepakaran dalaman, unit GovTech Malaysia diperkasa untuk membangunkan lebih banyak aplikasi digital kerajaan. Ikhtiar Kios MADANI akan dibangunkan di semua peringkat.
Peranan institusi Parlimen terus diperkukuh. Parlimen akan menerima hampir RM220 juta, termasuk RM5 juta khusus untuk memperkasa fungsi Jawatankuasa Pilihan Khas sebagai semak dan imbang kepada dasar dan kebijakan kerajaan.
[Tepuk] Susulan manfaat diterima rakyat di 143 kawasan Parlimen daripada program kelestarian oleh Kumpulan Rentas Parti Parlimen, RM15 juta disediakan bagi memperluas liputan ke lebih banyak kawasan Parlimen.
Pengasingan peranan Peguam Negara dan pendakwa raya seperti yang diumumkan baru-baru ini dalam peringkat libat urus bersama semua pihak berkepentingan. Setelah penggubalan Akta Kredit Pengguna, kerajaan akan meminda Akta Perlindungan Pengguna untuk memasukkan elemen Lemon Law bagi melindungi hak pengguna yang sering tertindas.
Penyasaran subsidi. Kita tahu bahawa semua pimpinan kerajaan sebelum ini, semua kerajaan sebelum ini, termasuk kerajaan pembangkang sebelum ini, mengakui keperluan melaksanakan penyasaran subsidi. Namun ia tertangguh kerana tiada tekad politik. Maka, memaknai subsidi pada pendapat kami, adalah keistimewaan rakyat Malaysia dan bukan untuk warga asing, bukan untuk syarikat besar. Kerajaan menyasarkan subsidi supaya dana awam sampai kepada rakyat.
Saya beri beberapa contoh. Kita tahu bahawa bantuan subsidi pengapungan ayam ini, sebelum ini, telah menyebabkan kita menelan kos RM1 bilion satu tahun tetapi pengapungan ini telah berjaya menjimatkan RM1 bilion dan harga ayam tetap terkawal. Telur, kita dapat jimatkan RM1 bilion, sudah RM2 bilion.
Penyasaran subsidi dan penstrukturan tarif elektrik secara purata menjimat RM6 bilion. 85 peratus pengguna tidak dikenakan sebarang kenaikan tarif walaupun diuar-uarkan seolah-olah rakyat tertekan tetapi yang nyata, mereka melihat sendiri tentang nikmat penurunan bil setelah penyasaran subsidi elektrik.
Penyasaran subsidi diesel telah berjaya menjimatkan RM5 bilion dana kerajaan dan sektor pengangkutan awam, nelayan dan logistik dapat menjamin dengan bantuan harga subsidi iaitu RM200 diberikan. Penyasaran subsidi RON95 yang amat digeruni dan kempen besar-besaran menentang tapi setakat ini berjaya menjimatkan RM2.5 bilion wang kerajaan.
[Tepuk] Bayangkan harga minyak turun ke RM1.99 sen, warga asing bayar. Rakyat Malaysia dapat menikmati kemudahan yang sukar dinikmati oleh negara-negara lain.
Jadi, terima kasih kepada semua penyelenggara BUDI95 yang berjalan lancar dan lebih 10 juta rakyat telah bertransaksi membeli RON95 pada RM1.99 seliter. Pangkalan data 16.5 juta warganegara yang layak sedang dikemas kini untuk menyediakan kuota tambahan kepada 23,000 pemilik perahu berdaftar dan lebih 52,000 pemandu e-hailing aktif perahu dan berdaftar yang kebanyakan di Sabah dan di Sarawak.
Keseluruhan penyasaran subsidi, justeru itu dapat menjimatkan dana negara sekitar RM15.5 bilion setahun. Setiap penjimatan bermakna lebih banyak dana untuk kebajikan, lebih banyak peruntukan untuk kos sara hidup dan lebih banyak pelaburan prasarana rakyat yang berkualiti. Hasil penjimatan juga membolehkan Ikhtiar MADANI untuk rakyat dilaksanakan. Sejati MADANI, yakni jawatankuasa kampung menjalani kegiatan ekonomi yang mereka tentukan dengan dana sehingga RM100,000.
Sejak 2024, lebih 9,500 aktiviti menambah pendapatan komuniti dijalankan, termasuk umpamanya Kampung Sungai Protan, Perak, yang menjana sehingga RM90,000 sebulan melalui projek kolam memancing. Kampung Hiliran Jejawi, Terengganu, mengusahakan santan kelapa parut dan kerisik dengan pendapatan bulanan RM40,000. Saya melihat juga sendiri di beberapa tempat di Perak, di mana disediakan dron dengan keuntungan lebih RM30,000 sebulan.
Tahun depan, RM1 bilion disediakan bagi memperhebat Ikhtiar MADANI untuk rakyat. Sejati MADANI diperluas untuk melibatkan anak-anak muda, menambah pendapatan komuniti seperti program mesin layan diri atau di bidang pertanian, khususnya sistem pengairan baja fertigation. Pimpinan negara, termasuk saya, Ketua Setiausaha Negara, pegawai-pegawai tinggi, semua terpaksa turun menguruskan permasalahan kampung yang mereka pilih dan sekolah. Tahun depan, sasaran Kampung Angkat MADANI ditingkatkan kepada 500 kampung dan Sekolah Angkat MADANI ditingkatkan kepada 1,500 sekolah, termasuk dengan penglibatan sektor swasta.
[Tepuk] Solar MADANI siap dipasang. 4,000 lampu solar MADANI di Sabah telah dipasang, hampir diperluas ke kampung-kampung dan kemudiannya nanti ke seluruh negara. Sejahtera MADANI ialah sumbangan sektor swasta dalam menoktahkan kemiskinan tegar dengan kejayaan dana terkumpul RM120 juta setakat ini. Saya merakamkan penghargaan kepada semua, terutama badan korporat yang turut terlibat dalam Ikhtiar MADANI untuk rakyat. Untuk itu, syarikat dan individu berpendapatan perniagaan yang menyumbang untuk Program Kampung Angkat dan Sekolah Angkat MADANI, Sejahtera MADANI, layak diberi potongan cukai pendapatan.
Ikhtiar Perkhidmatan Bergerak MADANI menerima RM110 juta bagi memastikan masyarakat desa dan pedalaman mendapat perkhidmatan kerajaan secara terus. Umpamanya, penuntut universiti awam bidang sains, kejuruteraan, perubatan dan kejururawatan turun ke kampung-kampung memberi khidmat dukungan kepada rakyat seperti pembaikan, saringan kesihatan dan pembudayaan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) di sekolah.
Perkhidmatan Bergerak Sabah–Sarawak diperluas ke 19 kawasan baru termasuk Kampung Karamuak, Sabah dan Telang Usan, Sarawak. Bank Simpanan Nasional menambah empat lagi untuk kemudahan berjumlah 20 bank bergerak, sementara mahkamah bergerak diperluas meliputi mahkamah buruh bergerak dan mahkamah kanak-kanak bergerak. Saya telah turun berjumpa dengan kepimpinan semua negeri untuk memahami keutamaan projek pembangunan negeri. Justeru, perencanaan RMK13 telah mengambil kira permohonan semua negeri.
Umpamanya:
(i) Pulau Pinang, projek penyuraian trafik PLUS dari Tol Juru ke Tol Sungai Dua;
(ii) Perak, pembangunan Kompleks Terminal Regasifikasi Ketiga (RGT) di Lumut,
(iii) Kedah, Pusat Kanser Wilayah Utara, Kedah,
(iv) Negeri Sembilan, baraj dan takungan air pinggiran Sungai- sungai Pedas, Rembau.
Menyemangati Perjanjian Malaysia 1993, Kerajaan MADANI bertekad memastikan kepesatan pembangunan Sabah dan Sarawak yang menerima peruntukan Persekutuan tertinggi. Peruntukan pembangunan Sabah meningkat kepada RM6.9 bilion ketimbang RM4.4 bilion tahun 2022.
[Tepuk] Sarawak, meninggi kepada RM6 bilion ketimbang RM2.9 bilion tahun 2022. Jadi, mulai tahun ini, kadar pemberian khas Sabah dan Sarawak ditingkatkan kepada RM600 juta.
Dato' Seri Anwar bin Ibrahim
Kendatipun kawal selia bekalan elektrik diserah sepenuhnya kepada Sabah sejak Januari tahun lalu, Kerajaan Persekutuan menetapkan dan menyediakan RM1.2 bilion untuk menjamin kelangsungan bekalan di Sabah. Saya melihat umpamanya insiden tanah runtuh di Penampang, dua talian utama penghantaran elektrik voltan tinggi mengakibatkan gangguan bekalan kepada 230,000 pengguna Pantai Timur Sabah. Langkah segera diambil bagi memulih bekalan. Untuk kelangsungan jangka panjang, Kerajaan Persekutuan menyediakan pembiayaan RM765 juta bagi Projek Talian Penghantaran Southern Link.
Sejak 2024, Kerajaan Persekutuan menyediakan pembiayaan RM1 bilion untuk projek air Sabah, 2024. Antaranya pemasangan paip di Tawau serta naik taraf paip usang di Kota Kinabalu, Penampang dan Putatan. Projek ini dalam fasa pelaksanaan dan dijangka siap insya-Allah tahun hadapan.
[Tepuk] Lebuh raya Sabah dan Sarawak seperti kita tahu sembilan pakej Pan Borneo Sarawak siap sepenuhnya. Tahniah. Dan telah dibuka untuk kegunaan rakyat. Empat pakej Pan Borneo Sabah Fasa 1A telah siap. Tahun 2026, RM1.67 bilion disediakan untuk Pan Borneo Sabah dilaksanakan mengikut jadual.
Sarawak–Sabah Link Road Fasa 1 dijangka siap November 2026. SSLR 2 sedang dalam pembinaan dan dijangka siap pertengahan 2029. SST bagi Projek Trans Borneo dikeluarkan seawal suku pertama 2026.
Jajaran red line di Durin dan Salim, Sibu, Sarawak dinaik taraf dengan kos RM350 juta. Keseluruhannya, kesemua projek prasarana rakyat ini melibatkan kos yang mencecah RM48 bilion.
Untuk memastikan Sabah, Sarawak dan Semenanjung menikmati manfaat digital yang sebaiknya, Sambungan Kabel Dasar Laut MADANI (SALAM) dibangunkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia sepanjang 3,190 kilometer dengan kos RM2 bilion. Ini melibatkan laluan dasar laut dari Sedili, Johor ke Kuching dan Sibu di Sarawak. Seterusnya ke Tuaran, Kudat, Pulau Banggi, Sandakan dan Tawau di Sabah.
RM20 juta untuk menambah ruang niaga dilengkapi kemudahan asas Tamu Desa di Sabah dan Sarawak.
Malaysia melangkah gagah menjuarai ekonomi bernilai tinggi. Di tengah persaingan global yang semakin sengit, kita terus mengutamakan pelaburan strategik berpertumbuhan tinggi seperti semikonduktor, peralihan tenaga dan digital.
Kerajaan memperkenalkan status ASEAN Business Entity yang di selaras Suruhanjaya Sekuriti. Insentif diberikan kepada ASEAN Business Entity, syarikat senaraian awam dan pertengahan dengan pasaran meluas di ASEAN. Makna, syarikat yang menjangkau dan memiliki kepentingan seluruh ASEAN.
Skim Insentif Pejabat Keluarga Tunggal yang diwartakan untuk Zon Kewangan Khas Forest City menempa kejayaan besar. Enam Pejabat Keluarga diluluskan dengan AUM hampir RM400 juta dalam tempoh kurang setahun dan berada di landasan tepat mencapai RM2 bilion ringgit AUM pada tahun — pada hujung 2026.
Investor Pass diterajui oleh MIDA menyediakan kemudahan multiple entry visa sehingga 12 bulan kepada pelabur asing.
Residence Pass—Talent Fast Track diteruskan untuk memastikan bakat yang dibawa masuk diuruskan dengan pantas termasuk pengecualian syarat Pas Penggajian tiga tahun.
Selaras dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP), Dana Pelaburan Bersama Strategik, Dana Pembangunan Industri NIMP, dana pinjaman mudah Strategi Semikonduktor Nasional (NSS) dan dana pelaburan Khazanah dan Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) disediakan berjumlah RM1.3 bilion.
GLIC melalui GEAR-uP meningkatkan pelaburan dalam negara kepada RM30 bilion ketimbang RM25 bilion.
Dana Pemacu KWAP RM1.2 bilion akan membuat pelaburan bersama dengan pengurus dana swasta bagi membiayai syarikat atau pasaran sedang berkembang.
Program Syarikat Mid-Tier Khazanah RM250 juta membina keupayaan syarikat peringkat pertengahan.
Startups menyumbang RM1 bilion KDNK dan menjana 82,000 peluang pekerjaan. Justeru, Dana Perintis KWAP dan Jelawang Capital Khazanah ditingkatkan kepada RM750 juta. Startups semikonduktor sering berdepan halangan kemasukan susulan kos prototaip yang mahal. Malaysia melalui MTDC akan meluncurkan SemiconStart dengan kerjasama inkubator global.
Sejak diperkenalkan, MyCIF menarik lebih RM6 bilion modal ECF dan P2P di dalam PMKS. Tahun 2026, pembiayaan MyCIF diunjur RM150 juta untuk menyokong PMKS agar berkembang ke peringkat rantau dan global.
MAHB diperkasa membuka ruang pelaburan lebih besar memperkukuh kecekapan untuk lapangan terbang negara. Pembesaran Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah, Perak telah siap dan dalam proses pembesaran Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Kelantan. RM2.3 bilion dilaburkan bagi pembangunan lapangan terbang di Pulau Pinang, Kota Kinabalu, Tawau dan Miri yang dijangka siap 2028.
[Tepuk] Projek Inter-Terminal Transfer antara KLIA Terminal 1 dan Terminal 2 bakal dilaksanakan bagi meningkatkan ketersambungan penumpang sebagai satu lapangan terbang antarabangsa yang menyeluruh. Kerajaan Selangor bersama MAHB akan membangunkan Selangor Aero Park (SAP) di Sepang sebagai hab logistik dan kargo serantau.
Bagi meneroka potensi nadir bumi sebagai sumber baharu kepada negara, kerajaan akan menumpukan usaha membangunkan aktiviti hiliran termasuk melalui usaha sama antarabangsa yang diterajui Khazanah.
Malaysia menumpukan pembangunan ASEAN Power Grid bagi menghubungkan grid elektrik rentas sempadan ke negara jiran dan memperkukuh perdagangan tenaga serantau. TNB dan PETRONAS turut bekerjasama dengan rakan ASEAN bagi mempercepat projek Vietnam–Malaysia–Singapura, menyalurkan tenaga boleh baharu dan dari selatan Vietnam ke Malaysia dan Singapura.
Usaha Kerajaan Persekutuan membangun Johor–Singapore Special Economic Zone telah membina keyakinan pelabur terhadap Johor. Bagi separuh pertama 2025, JS–SEZ merekodkan pelaburan diluluskan RM37.1 bilion, 66 peratus daripada keseluruhan pelaburan Johor. Maka JS–SEZ meraih RM29 bilion lagi komitmen pelaburan baharu.
Kerajaan tentunya menyokong pembangunan sempadan utara seperti Delapan di Zon Ekonomi Sempadan Khas Bukit Kayu Hitam yang muncul sebagai hab pertumbuhan moden dengan pelaburan RM2.7 bilion.
Prasarana lain di sempadan ditambah baik, umpamanya membina jalan baharu Kalabakan, Sabah, ke Simanggaris, Indonesia sepanjang 28 kilometer, menaik taraf landasan kereta api Pasir Emas–Rantau Panjang. Projek RTS Link beroperasi sepenuhnya 1 Januari 2027.
Majlis TVET Negara akan memperkukuh ekosistem TVET termasuk cadangan penggubalan RUU TVET. Peruntukan TVET naik kepada RM7.9 bilion.
[Tepuk] Atas desakan. Peluang pendidikan dan latihan TVET ditingkatkan khususnya dalam menyokong sektor berkeutamaan tinggi, umpamanya Majlis TVET Negara, HRD Corp. tentunya lebih tinggi dengan RM3 bilion untuk latihan termasuk bidang digital dan teknologi. PTPK RM650 juta. GIATMARA menawarkan latihan kepada 13,000 golongan tumpuan termasuk pekerja gig.
Kolej komuniti menjadikan Program Pembelajaran Sepanjang Hayat termasuk untuk komuniti rentan seperti OKU, warga emas, ibu tunggal dan orang asli. Kemudian institusi TVET turut dinaik taraf, umpamanya membina hangar baharu di ADTEC Shah Alam bagi selenggara kapal terbang dan membina Kompleks Teaching Shipyard TVET Marine di UMT untuk bidang maritim. Di samping itu, kolej vokasional baharu akan dibangunkan di Sabah.
[Tepuk]
Dato' Seri Anwar bin Ibrahim
Sistem Kewangan Islam tidak harus lemah dan laih dan lesu dengan tradisi lama. Ia perlu berevolusi memenuhi tuntutan hari ini malah berupaya memimpin penyelesaian yang ampuh untuk kesejahteraan umum. Kerajaan perkenalkan model pembiayaan musyarakah dan murabahah. Pusat Kewangan dan Perniagaan Antarabangsa Labuan berhasrat menjadikan Hab Kewangan Islam Digital dan memperkenalkan Global Tokenisasi Sukuk.
iTEKAD dengan dana padanan RM35 juta diperluas daripada usahawan mikro kepada penerima yang ingin meningkatkan kemahiran mereka untuk pekerjaan. Kerajaan akan terus menyokong usaha membangunkan tanah wakaf seperti UDA Holdings Berhad yang menerajui Projek Taman Wakaf Seetee Aisah Fasa 2 dan 3 serta Taman Sultan Sallehuddin Fasa 1B dan 2B dengan nilai pelaburan hampir RM250 juta.
SME Bank menawarkan pembiayaan hingga RM100 juta kepada PMKS halal. SJPP meningkatkan jumlah jaminan kerajaan bagi pembiayaan PMKS halal sehingga RM2 bilion ketimbang RM1 bilion tahun lalu.
Saya merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Melaka dan Kementerian Pelancongan atas kejayaan peluncuran Tahun Melawat Malaysia 2026 di Melaka baru-baru ini.
[Dewan tepuk]
Dato' Seri Anwar bin Ibrahim
Kita punya tekad besar, menarik 40 juta pelawat dan menjana pendapatan pelancongan RM329 bilion. Satu anjakan yang menjanjikan limpahan ekonomi kepada perniagaan kecil, usaha pelancongan, pengusaha kraf serta rakyat seluruhnya. Arakian, lebih 700 juta ringgit disediakan bagi merancakkan sektor pelancongan terutama menjayakan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.
[Dewan tepuk]
Dato' Seri Anwar bin Ibrahim
Kemudahan pelancongan dipulihara seperti di tapak UNESCO Taman Negara Gunung Mulu, Sarawak; Lembah Lenggong, Perak; FRIM Forest Park, Selangor yang baharu diisytiharkan tahun ini. Produk geo pelancongan di Pulau Langkawi akan dibangunkan iaitu Kilim Geoforest Park, trail kembara Gua Selat Panchor dan geotrail pendakian di Langkawi UNESCO Global Geopark.
Kerajaan bercadang menyediakan insentif cukai bagi sektor pelancongan dan kebudayaan bagi menggalakkan usahawan, pengusaha pelancongan menambah baik premis dan menarik kehadiran pelancongan luar. Bagi menggalakkan rakyat melancong dalam negara, kerana ramai yang merentas sempadan kerana ringgit bertambah kuat, maka kerajaan akan memberi pelepasan khas cukai pendapatan individu sehingga RM1,000 diberikan ke atas perbelanjaan bayaran fi kemasukan ke pusat pelancongan tempatan dan program kebudayaan tempatan.
[Dewan Tepuk]
Dato' Seri Anwar bin Ibrahim
Kita bicara banyak tentang gig, tetapi bagaimana tentang pemandu teksi?
Maka kerajaan bercadang pengecualian 100 peratus duti eksais dan pengecualian 100 peratus cukai jualan kepada pemandu teksi atas pembelian kereta nasional baharu PROTON dan PERODUA oleh pemilik teksi dan kereta sewa persendirian.
[Dewan Tepuk]
Dato' Seri Anwar bin Ibrahim
Ikhtiar Warisan Kuala Lumpur ini garapan berani membugar nadi kota yang tidak sekadar memulihara bangunan lama, tetapi menghidupkan semula jiwa Kuala Lumpur sebagai pentas budaya, bangga dengan sejarah dan pemangkin ekonomi dan medan aspirasi rakyat. Pujangga Amerika, Mark Twain menyesalkan kehebatan gedung-gedung yang hebat dan gagah, tetapi gersang budayanya.
[Tepuk] Gersang budaya, dia sebut sebagai bangunan yang hebat, teknologinya, tetapi culturally barren. Maka, sama dengan semangat ungkapan Almarhum Tun Dr. Ismail, mantan Timbalan Perdana Menteri, “Kita tidak hanya membina, memperbaiki dinding dan membina bumbung tanpa melupakan asas dan inti pati sejarah dan budaya kita.” Yang ditekankan ialah semangat kota itu mesti hidup menurut Almarhum Tun Dr.
Ismail.
Tan Sri Yang di-Pertua, hampir empat dekad yang lalu kerajaan telah berunding semula memulangkan Carcosa Seri Negara daripada pihak Inggeris.
Bangunan bersejarah melambangkan maruah dan kedaulatan bangsa, tetapi pada masa itu diserahkan kepada Inggeris sebagai tanda penghargaan kemerdekaan.
Alhamdulillah kembali kepada kita dan diperindahkan sebagai tanda kehebatan negara Malaysia yang merdeka bermula dari bangunan Sultan Abdul Samad dengan sejarah dan budaya Kesultanan Melayu sepanjang Padang Merdeka, gelanggang reformasi dulu sehingga stesen kereta api dan Carcosa Seri Negara. Itu semua dianggap sebagai warisan Kuala Lumpur. Terima kasih kepada Khazanah, PNB, PETRONAS dan RAC atas komitmen memulihara Kuala Lumpur sebagai bandar raya hebat, bandar raya berbudaya dan bandar raya bersejarah.
[Dewan tepuk]
Dato' Seri Anwar bin Ibrahim
Tan Sri Yang di-Pertua, kita melangkau kepada perbincangan tentang keperluan pusat penjaja, peniaga dan gerai. Saya telah tekankan bahawa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur harus lebih proaktif untuk memberi manfaat termasuk menggunakan dana dalaman untuk membangunkan kemudahan asas rakyat. Lebih 85 peratus rakyat menggunakan gerai — untuk memanfaatkan gerai, warung, restoran kecil. Sejumlah kecil sahaja yang ke restoran lima bintang.
Jadi, perlu kita tingkatkan usaha dan saya ucap terima kasih kerana Dewan Bandaraya telah bersetuju menyediakan RM500 juta bagi menambah baik kemudahan penjaja dan perumahan rakyat di Kuala Lumpur.
[Tepuk] Ini termasuk pusat penjaja, pasar serta medan selera.
Untuk menyelenggara bangunan dan saya telah beritahu bila turun ke Pantai Dalam baru-baru ini dan melihat kedudukan lif harus ada tekad, semua lif di Kuala Lumpur bawah milik Dewan Bandaraya diperbaiki segera.
[Dewan tepuk]
Dato' Seri Anwar bin Ibrahim
RM60 juta ditambah lagi untuk membina gerai dan membaiki pasar awam di semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di bawah KPKT. Majlis Amanah Rakyat menaik taraf 363 premis perniagaan MARA seluruh negara dan akan memberi manfaat kepada 7,300 usahawan dengan peruntukan RM50 juta.
Tekad berikutnya ialah untuk memacu produk ciptaan Malaysia. Jadi kita tidak boleh sekadar menjadi pengguna, kita mesti mencipta, mengeluarkan produk dan ini selari dengan maksud dan cita-cita dalam konsep MADANI itu inovasi dan daya cipta.
Dan oleh itu, ia dapat membaiki, meningkatkan upaya kita dalam eksport.
Jadi dalam memperkasa AI, Pejabat Kecerdasan Buatan Kebangsaan (NAIO) dan Fakulti Kecerdasan Buatan pertama negara di UTM akan dipertingkat. Tahniah kepada UTM.
Universiti terus menerusi AI dalam jurusan kritikal seperti semikonduktor– USM, perubatan (UM), kriptologi (UPM) dan termasuk MMU.
Intelek Luhur Malaysia Untuk-mu (ILMU) diluncurkan sebagai AI model bahasa pertama negara. Hasil kerjasama Universiti Malaya dan YTL AI Labs.
Kita turut meraih pelaburan bidang AI dan pusat data daripada syarikat gergasi teknologi dunia, Microsoft USD2.2 bilion dan Google USD2 bilion.
Untuk menuju status negara AI menjelang 2030, peruntukan aktiviti RDCI rentas kementerian hampir RM5.9 bilion. Ini termasuk potongan cukai tambahan 50 peratus diberi kepada PMKS bagi perbelanjaan kos latihan berkaitan AI dan keselamatan siber yang diiktiraf oleh MyMahir National AI Council for Industry. Kita perlu Sovereign AI Cloud. Kita tidak boleh bergantung kepada kaedah lama, apalagi setelah CLOUD Act diperkenalkan di Amerika Syarikat yang mempunyai kuasa untuk menerobos kepada semua.
Dato' Seri Anwar bin Ibrahim
Maka sebab itu, SKMM menyediakan pelaburan RM2 bilion untuk melengkapkan Sovereign AI Cloud yang menjamin keselamatan negara kita sendiri.
RM53 juta Geran Pecutan Digital Malaysia disediakan. Itu untuk teknologi AI, blockchain dan kuantum.
Bagi menggalakkan pengkomersialan hasil R&D, pensyarah universiti awam yang menjadi pengasas syarikat terbitan dibenarkan mengambil cuti penyelidikan atau sabatikal setahun untuk tujuan pengkomersialan R&D. Ini atas permintaan mereka sendiri. Dan setelah mendengar, saya setuju kerana turut menyalurkan dana permulaan RM10 juta untuk tujuan tersebut.
USM, umpamanya, menghasilkan mesin dialisis buah pinggang mudah alih dan rawatan kanser lidah. Universiti Malaya menyediakan rawatan kesuburan dan terapi biologi osteoartritis lutut. RM12 juta disediakan kepada HPU terpilih untuk mengaplikasikan hasil ciptaan dalam urusan pemulihan pesakit secara bersasar.
Pada masa ini, lebih 550 produk perkhidmatan telah diluluskan logo MySTI.
Bagi meningkatkan pengkomersialan, kerajaan memberi keutamaan kepada produk MySTI termasuk peluang mengadakan pengujian komersial.
Elaun Cukai Pelaburan Aset Hijau untuk kegunaan sendiri sebanyak 100 peratus diberikan kepada syarikat menggunakan produk teknologi hijau dalam rangkaian buatan tempatan yang diiktiraf MyHijau Mark.
Malaysia mesti berani menembusi pasaran dunia. Daya cipta anak watan tidak boleh terus terkurung dalam sempadan negara. Selain itu, SJPP sedia menjamin sehingga 70 peratus pembiayaan syarikat pertengahan berorientasi eksport termasuk yang mengembang pasaran baharu dengan nilai jaminan hingga RM5 bilion.
Geran pembangunan pasaran MATRADE menyediakan RM60 juta bagi memudah cara PMKS mengeksport produk ciptaan Malaysia ke pasaran sedia ada dan pasaran baharu: Afrika, Amerika dan Asia Tengah.
EXIM Bank menyediakan pinjaman mudah untuk membantu syarikat yang terkesan akibat ketegangan tarif dengan dana RM500 juta.
Tahun depan, insya-Allah, jumlah kemudahan pinjaman dan jaminan kerajaan yang tersedia untuk manfaat usahawan tempatan bernilai RM50 bilion meningkat ketimbang RM40 bilion tahun ini. RM2.5 bilion pinjaman mikro disediakan antaranya di bawah BSN dan TEKUN.
Jumlah jaminan kerajaan di bawah SJPP ditingkatkan 50 peratus kepada had tertinggi iaitu RM30 bilion yang melibatkan usahawan mikro. Suruhanjaya Koperasi Malaysia menyediakan RM50 juta menyokong perusahaan badan-badan koperasi seluruh negara.
DFI, institusi kewangan pembangunan, menyediakan pembiayaan dan geran hampir RM1 bilion untuk menyokong automasi proses dan pendigitalan operasi perniagaan. SKMM menyediakan RM350 juta untuk memperkasa NADI sebagai pusat usahawan desa, menambah pendapatan dalam talian.
Bagi mengurangkan kos menjalankan perniagaan, duty stamp dikecualikan ke atas kontrak penggajian dengan nilai ambang gaji sehingga RM3,000 sebulan mulai 1 Januari 2026.
Agrokomoditi menyumbang hampir RM90 bilion kepada KDNK dan lebih 12 peratus eksport negara tahun lalu. Industri sawit, umpamanya, mengungguli eksport, menyumbang satu per empat pengeluaran dunia. Kejayaan ini dilipatgandakan dengan meningkatkan automasi dan meneroka pasaran baharu.
FELDA, RISDA, FELCRA akan terus melindungi lebih 720 ribu peneroka, pekebun kecil serta keluarga mereka dengan peruntukan hampir RM2.4 bilion.
Kejayaan mengambil alih FGV untuk kembali bersama FELDA membuktikan komitmen MADANI mendengar denyut nadi warga peneroka, dengan hasrat agar FELDA kembali mengangkat martabat peneroka ke puncak kejayaan yang lebih tinggi.
Syarikat mula niaga diberi peruntukan RM20 juta, mengeluarkan produk mekanisasi dan automasi dengan kerjasama MPOB dan syarikat utama sawit.
Nasib pekebun kecil getah, sawit, koko, lada dan kenaf dibela. Kerana mengiktiraf usaha mereka membanting tulang mencari rezeki, maka ditambah peruntukan ke RM120 juta.
Pusat kecemerlangan penyelidikan akan dibangunkan oleh Lembaga Getah dengan kos RM600 juta untuk mendepani permasalahan penyelidikan dan mengangkat keupayaan pengeluaran lateks yang lebih bermutu.
Bagi menyokong agenda peralihan tenaga negara pula, RM150 juta disediakan. Projek penjanaan solar berskala besar dilaksanakan dengan kapasiti dua gigawatt di bawah LSS 6 melibatkan pelaburan swasta RM6 bilion. GLIC GLC menggerakkan pelaburan RM16.5 bilion untuk tahun 2026. Umpamanya, UEM Lestra membangunkan ladang solar di Segamat, Melaka dan Selangor serta bekerjasama dengan PLUS memperluas kemudahan pengecasan EV.
CRESS, Corporate Renewable Energy Scheme dijangka menjana pelaburan RM3.5 bilion dan akan menjana tenaga 500 megawatt. Cukai karbon diperkenalkan mulai tahun depan dengan tumpuan awal kepada sektor besi, keluli serta tenaga, selain penggubalan RUU Perubahan Iklim Negara.
Sistem Pengairan Tersier Fasa 1, Projek Tanaman Padi Lima Musim Dua Tahun di kawasan MADA telah pun siap. Fasa berikutnya akan siap secara berperingkat sehingga suku kedua 2030. Projek Pemindahan Air Jeniang akan mula dilaksanakan dengan kos RM1.28 bilion.
Sejak 2024, Kerajaan MADANI bekerjasama dengan semua kerajaan negeri untuk memanfaatkan tanah bagi projek pertanian. Umpamanya: bawang di Perak; kerang di Melaka; lembu di Pahang; biri-biri pedaging di Johor. Kerjasama diperhebat dengan peruntukan RM300 juta, antaranya bagi menyokong tanaman jagung bijian, akuakultur serta aktiviti tanaman padi di Sabah dan Sarawak.
Kepada usahawan tani, Agrobank menyediakan pembiayaan RM1.1 bilion, pengecualian cukai pendapatan 100 peratus untuk projek baharu, pengeluaran bahan makanan dan galakan cukai automasi sektor pertanian turut diperluas.
Kepada pesawah, subsidi pertanian tertinggi dalam sejarah disediakan berjumlah RM2.62 bilion. Ini termasuk subsidi harga padi, tanaman padi, baja, benih dan insentif pengeluaran padi.
Bermula tahun ini, kadar insentif pembajakan dan insentif racun dinaikkan masing-masing kepada RM160 dan RM300 sehektar semusim. Kerajaan juga memperkenalkan insentif penuaian padi RM50 sehektar semusim. Bermakna, setiap pesawah menerima bantuan kira-kira RM4,300 per hektar bagi setiap musim.
[Tepuk] Nelayan. Elaun sara hidup nelayan sehingga RM300 sebulan dan insentif hasil tangkapan diberikan dengan peruntukan RM160 juta. Kerajaan tetap mengekalkan diesel bersubsidi RM1.65 seliter khusus untuk nelayan. RM20 juta untuk nelayan menaikkan taraf vesel bagi mengurangkan kebergantungan tekong dan kru asing.
RM55 juta menyokong pengusaha buah-buahan tempatan seperti nanas di Sarawak, durian belanda, jambu air dan limau besar.
Kementerian Pertahanan menerima RM21.7 bilion. Kementerian Dalam Negeri― RM21.2 bilion.
Seperti dalam – diungkap dalam hikmah klasik Tamadun China purba, *jū ān sī wēi, sī zé yǒu bèi, yǒu bèi wú huàn...
[Bercakap dalam bahasa Cina]*
[Dewan tepuk]
Dato' Seri Anwar bin Ibrahim
Ini kewaspadaan. “Dalam damai...” “Dalam damai kita wajib berwaspada...” Menteri Pengangkutan. Dan, “Dalam damai kita berwaspada akan ancaman dan marabahaya.” Ini dalam Catatan Musim Bunga, Zuo Zhuan.
Baik. Ini hanya keperluan kesiapsiagaan, jangan alpa, terutama negara maritim dengan segala permasalahan di kawasan apalagi rantau ini menjadi tempat persaingan kuasa-kuasa besar.
Maka, kesiapsiagaan ditingkatkan dengan menyelenggara dan membeli aset baharu. RM6 bilion, Medium, Short and Very Short Range Air Defence, dua buah Multi Role Support Ship, 10 kenderaan MALBATT.
Aset PDRM pula diselenggara dengan RM1 bilion untuk persiapan kemudahan bagi anggota, tapi perolehan baharu termasuk: 100 buah pickup 4x4 untuk risikan dan operasi PDRM; empat bot ronda Fast Patrol Vessel, marin; pesawat udara Maritime Surveillance Aircraft, APMM.
Fasiliti badan beruniform dinaik taraf dan dibina dengan kos RM1.5 bilion antaranya Ibu Pejabat Kontinjen Sarawak; Kompleks APMM Tok Bali, Kelantan; Kompleks Zon Maritim Kudat, Sabah; Pusat Latihan Artileri Kem Syed Sirajuddin, Gemas, Negeri Sembilan.
Bagi meningkatkan keselamatan kawasan Pantai Timur Sabah, Pelantar Laut Tun Sharifah Rodziah akan digantikan dengan sebuah Multi Purpose Command Platform baharu.
Syarikat yang dianugerahkan kontrak perolehan MINDEF diwajibkan untuk menyediakan peluang pekerjaan untuk veteran di bawah program PROTEGE dan kini skop diperluas untuk memberi latihan sijil dan diploma kepada anggota ATM sebelum bersara.
AKPS telah menghadang, menghalang masuk lebih 10 ribu warga asing dan menyita barangan tidak sah. Bagi memenuhi 220 keperluan tenaga kerja AKPS, keutamaan diberikan untuk melantik veteran tentera bagi kesiapsiagaan penuh.
[Dewan tepuk]
Dato' Seri Anwar bin Ibrahim
Tan Sri Yang di-Pertua, buli, buli. Buli, ini jenayah senyap yang mesti dinoktahkan. Sama ada di sekolah, universiti, tempat kerja, alam maya telah membunuh potensi, menanam trauma berpanjangan malah sehingga meragut nyawa. Maka, kita bersetuju membentangkan RUU Antibuli 2025 pada sesi mesyuarat ini juga.
[Dewan tepuk]
Dato' Seri Anwar bin Ibrahim
Terkait isu scam dan ancaman siber, RUU Jenayah Siber akan digubal bagi menangani jenayah siber dengan lebih menyeluruh.
NACSA menubuhkan Pusat Pembangunan Keselamatan Siber dan Kriptologi untuk melindungi kedaulatan digital negara.
NSRC dikemudi secara langsung PDRM agar pengendalian kes penipuan kewangan lebih cekap dan pantas. Peranan D11 PDRM diperkasa dalam menangani jenayah seksual yang mengeksploitasi kanak-kanak di ruang siber.
Kita menghargai tindakan pantas NADMA menguruskan musibah banjir termasuk di Sabah baru-baru ini. Tanah runtuh juga yang meragut nyawa. Maka, langkah segera diambil membangun semula IPG Kampus Gaya yang rosak dan daif dengan kos RM220 juta. Saya turut luluskan RM30 juta projek tebatan banjir fasa kedua dan segera membina semula satu blok sekolah yang terkesan banjir di Inanam, Sabah.
Tahun depan, NADMA dengan dana RM460 juta bersiap sedia mendepani bencana. Ini termasuk menambah kemudahan tandas di 10 pusat pemindahan sementara yang juga boleh dimanfaat murid sekolah pada bila-bila masa. Sebagai persediaan menghadapi banjir, Kerajaan Persekutuan membenarkan semua Kerajaan Negeri menggunakan dana MARRIS bagi memperoleh Jambatan Panel Keluli Bermodular (Bailey Bridge) dan melaksanakan kerja-kerja pembesaran longkang dan parit.
SKMM menyediakan RM210 juta untuk membangunkan Sistem Amaran Awal bagi memperkukuh kesiapsiagaan bencana dan krisis.
RM2.2 bilion disediakan untuk meneruskan 43 projek Rancangan Tebatan Banjir mengikut jadual termasuk 12 RTB baharu yang akan dilaksanakan tahun depan termasuk RTB Sungai Temin/Bata, Kubang Pasu Kedah; Lembangan Sungai Bersepadu Sungai Moyok, Sabah; RTB Sungai Buaya Kuala Nerus, Terengganu; dan RTB Sungai Chaah, Segamat, Johor.
Ikhtiar melindungi khazanah flora dan fauna juga diteruskan. Dengan dana RM250 juta, Dana Ecological Fiscal Transfer untuk menyokong kerajaan negeri memulihara alam. Kerajaan bersetuju RM50 juta dan EFT disalurkan sebagai hasil kepada kerajaan negeri.
RM80 juta untuk 2,500 renjer komuniti melindungi hutan kita termasuk memanfaat kepakaran lebih 1,000 orang asli dan hampir 700 veteran.
Pemuliharaan sungai, RM300 juta untuk menyelenggara, merawat dan membersih sungai.
Tekad Enam: Merapat Kesenjangan dan Mencipta Peluang. RM3.3 bilion disediakan untuk projek prasarana asas desa termasuk membina dan membaiki jalan kampung, jalan perhubungan desa seperti Pos Lenjang ke Koa Jernang Pos Titom Lipis, Pahang; Jalan Mangkapon, Pitas, Sabah; Kampung Tok Adis ke Kampung Banggol, Terengganu.
Air bersih dan elektrik termasuk pemasangan panel solar hibrid di kampung kecil Sabah dan Sarawak.
Projek jambatan serta lampu jalan kampung termasuk memasang lampu cekap tenaga dan solar melengkapi infrastruktur asas termasuk menaik taraf jeti awam dan klinik kesihatan di Pulau Banggi.
Pengurusan Aset Air Berhad melabur RM13 bilion untuk lima tahun untuk melaksanakan Loji Rawatan Air Langat 2; Loji Rawatan Air Machang; Sungai Karangan; dan Sidam Kiri, Kedah.
Non-Revenue Water Kebangsaan diteruskan dengan kos RM3 bilion.
Menggantikan paip usang sepanjang lebih 820 kilometer di Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Kelantan, Pahang dan Selangor.
5G – kerajaan komited memastikan kedua-dua rangkaian akan mencapai liputan 80 peratus menjelang 2026 dan kemudahan yang lebih meluas.
Agenda ekonomi bumiputera dipacu dengan pendekatan lebih terangkum melalui PuTERA 35.
GLIC dan GLC terus melabur untuk pembangunan ekonomi bumiputera sambil memacu pertumbuhan menyeluruh untuk semua.
RM40 juta bagi mempercepat peningkatan segala – skala syarikat bumiputera berpotensi tinggi. Susulan penyatuan Ekuinas dan PHB di bawah Yayasan Pelaburan Bumiputera, Ekuinas akan membangunkan syarikat pelaburannya sehingga dapat disenaraikan dan diambil alih oleh PNB. Manakala PHB memperkukuh pemilikan strategik bumiputera dalam hartanah dan perniagaan utama.
Kerajaan mengambil langkah yang belum pernah dilakukan sebelum ini dengan menambah tanah Rizab Melayu seluas 50 ekar di Bandar Malaysia, Sungai Besi. Petronas selaku pemilik tanah sedang merencana pelan pembangunan dan akan memulakan fasa pembangunan menjelang akhir 2026.
Lapangan Terbang Subang dan kawasan sekitar yang strategik untuk industri aeroangkasa. Projek pembesaran lapangan terbang dan kawasan sekitarnya hendaklah diterajui oleh kerajaan dan GLC bagi memastikan kepentingan nasional dan penyertaan bumiputera diutamakan.
Peluang pendidikan bumiputera diberi keutamaan dengan peruntukan keseluruhan MARA, Yayasan Peneraju dan UiTM sebanyak RM6 bilion.
Bagi menyokong kelangsungan usahawan bumiputera juga, RM2.8 bilion khusus untuk kontraktor G1-G4 bumiputera.
RM10 bilion nilai jaminan SJPP dikhususkan untuk bumiputera.
SME Bank menyediakan pinjaman RM200 juta kepada PKS bumiputera. Ini untuk menembusi pasaran eksport.
MARA – RM1 juta untuk menyokong pertumbuhan start-up dalam sektor strategik.
CIDB, 10 juta bagi meningkatkan daya saing usahawan bumiputera khususnya kontraktor muda.
VentureTECH melabur ke dalam 31 syarikat ekonomi Bumiputera dan 9 telah menembusi pasaran global. RM105 juta untuk VentureTECH meningkatkan pemilikan ekuiti bumiputera dalam sektor teknologi tinggi.
Dato' Seri Anwar bin Ibrahim
Tan Sri Yang di-Pertua, setakat 1 Oktober, 45 peratus syarikat senaraian awam memenuhi 30 peratus ahli lembaga pengarah wanita. Ini pertama kali kita catat. Namun, masih terdapat lapan syarikat tiada ahli lembaga wanita. Ini memang syarikat kolot.
[Dewan ketawa]
Dato' Seri Anwar bin Ibrahim
Suruhanjaya Sekuriti akan meningkatkan usaha penyertaan wanita dalam kepimpinan urusan korporat.
Bagi menyokong ibu bapa bekerja, pelepasan cukai pendapatan individu RM3,000 bagi perbelanjaan yuran taman asuhan atau taman didikan kanak-kanak sedia ada diperluas kepada pusat jagaan harian atau pusat transit berdaftar. Dan had umur dinaikkan daripada enam hingga 12 tahun.
[Tepuk] Amanah Ikhtiar – rekod cemerlang, terutama di kalangan wanita yang membayar hutang - 99.97 peratus membayar hutang, lelaki kurang sikit. [Dewan ketawa] RM2.9 bilion dana AIM ditawarkan untuk pembiayaan perniagaan.
Bank Rakyat, BSN, MARA dan SME Bank menyediakan pembiayaan RM270 juta bagi menyokong usahawan PMKS wanita.
Nasib 5,000 ibu tunggal miskin yang memerlukan bantuan guaman dibantu untuk menyelesaikan masalah kes mahkamah seperti perceraian dan hak penjagaan anak. Anak muda diberi peluang mencipta dan menyumbang. Had umur belia kini ditetapkan kepada 15 hingga 30 tahun, supaya penyertaan kalangan muda lebih terarah dan berkesan.
RM250 juta untuk melaksanakan Program Latihan Khidmat Negara 2026, termasuk memulakan PLKN secara rintis sebelum pelaksanaan penuh berikutnya.
Bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan, Khazanah menyediakan RM200 juta untuk memberi latihan sambil bekerja kepada 11,000 belia tanpa ijazah.
MARA menyediakan hampir RM30 juta untuk melatih anak bumiputera dengan jaminan pekerjaan.
BSN menyediakan RM150 juta kepada usahawan belia yang berumur 30 tahun ke bawah.
Kerajaan menanggung bayaran mendapatkan lesen motosikal Kelas B2, bagi menyokong belia kurang mampu dalam perkhidmatan penghantaran.
RM40 juta untuk Program Rakan Muda, terutama belia desa yang tercicir daripada pendidikan dan pekerjaan.
MADANI memastikan komuniti orang asli tidak terpinggir, selari dengan prinsip “leave no one behind” di bawah SDG 2030. Peruntukan orang asli ditingkatkan kepada RM412 juta, tidak termasuk peruntukan di bawah bumiputera.
Kerajaan akan membentangkan pindaan Akta Orang Asli 1954 bagi memperkukuh hak dan kepentingan orang asli berkaitan tanah dan kebajikan.
[Tepuk] Maaf pohon.
[Duduk] [Meminum air] [Bangun] Jalan-jalan kampung orang asli ditambah baik. Kampung Orang Asli Sungai Mai, Jerantut. Kampung Orang Asli Batu Peti, Jempol.
Empat premis tabika orang asli baharu pun dibina. Tanjung Tuan, Mersing; Kampung Uli Kuang, Gombak; dan di Ulu Kelantan.
Bagi menangani isu keciciran murid, kerajaan memperluas Program Sekolah Terapung di Hulu Perak bagi mendidik lebih 350 anak-anak orang asli.
OKU – dan tahniah kerana Senator OKU kita dapat pengiktirafan Pengerusi OKU Komanwel baru-baru ini.
[Tepuk] Senator saya.
OKU menerima bantuan hampir RM1.4 bilion. Termasuk yang kronik terlantar, yang tiada upaya bekerja dan elaun pekerja OKU.
Operasi Pusat Perkhidmatan Autisme diperluas ke Labuan, Sabah dan Sarawak untuk manfaat 13,000 OKU autisme. Prasarana komited menyediakan 100 buah van mobiliti khas untuk memudahkan pergerakan golongan OKU. Terima kasih Prasarana – bagi membantu ibu bapa dengan anak autisme atau ADHD. Pelepasan cukai pendapatan individu untuk perbelanjaan rawatan dinaikkan daripada RM6,000 kepada RM10,000.
Sejak Mac 2023, buat pertama kali 200,000 rakyat bebas daripada belenggu bankrap atau muflis. Maka, dasar peluang kedua Fast Track diperkenalkan bagi membantu ibu bapa tunggal yang menanggung anak usahawan mikro dan terkesan krisis, mangsa scam, serta mangsa projek terbengkalai.
Manfaat 1,700 bekas banduan dan bekas penagih diberi latihan dan peluang kerjaya melalui PEKA. 3,000 bekas banduan wanita diberi insentif menjana pendapatan.
Atas dasar kemanusiaan, kebajikan anak-anak kecil pelarian warga asing terus ditambah baik dengan Pusat Pengasingan Khas dengan peruntukan RM10 juta.
Kerajaan memastikan sebarang penjimatan dan hasil tambahan diutamakan untuk menjamin kelangsungan hidup rakyat, terutama meringankan beban sara hidup.
Hari ini kita bersyukur kerana Allah SWT, kerana menyaksikan hasil nyata perjuangan, kerana buat pertama kali dalam sejarah, kadar kemiskinan tegar negara menurun daripada 0.2 peratus ke paras hampir sifar. Hanya 0.09 peratus atau sekitar 7,000 isi rumah seluruh Malaysia. Ini pun kerana menggunakan kadar PGK makanan yang dinaikkan. Dia tidak guna jumlah dulu RM1,198, tapi kerana ditingkatkan RM1,236. Insya-Allah yang 7,000 itu dapat kita noktahkan sebelum akhir tahun ini.
Peranan perusahaan sosial yang membantu terutama golongan rentan menambah pendapatan, melanjutkan permohonan pengecualian cukai sehingga 2028, sepertimana yang telah diumumkan ya.
RM120 juta geran padanan disediakan bersama Yayasan GLC di bawah GDRN dan NGO, membantu komuniti merungkai permasalahan sosial dan menambah pendapatan.
Walaupun angka-angka ekonomi ini nampak meyakinkan Tan Sri, kerajaan akui kos sara hidup meningkatkan dan membebankan. Mengakui kejadian tersebut, bantuan tunai rakyat akan ditambah.
Tahun ini kerajaan menyediakan RM13 bilion untuk STR dan SARA yang memanfaatkan 9 juta penerima. Bagi STR, bayaran sehingga Fasa 3 telah dibuat bernilai RM6 bilion.
Sukacita diumumkan, sempena perayaan Deepavali. [Berucap dalam bahasa Tamil]. Deepavali Nal Valthukal [Tepuk] Bayaran STR Fasa 4 2025 bernilai RM2 bilion akan disalurkan mulai 18 Oktober ini. Kerajaan juga bersetuju menghormati Deepavali untuk meluluskan diskaun tol 50 peratus untuk dua hari sempena hari perayaan Deepavali.
[Berucap dalam bahasa Tamil] “Kedum perukkamum illalla nenjaththuk kotaamai saandrork kani.” Tapi makna dalam. Maknanya, susah senang Ahli Yang Berhormat, silih berganti, tetapi yang penting itu keteguhan hati nurani manusia. Itu yang dibaca tadi. Yang bunyinya susah, tapi maknanya mendalam.
Alhamdulillah, SARA bulanan diterima baik rakyat dengan kadar penggunaan mencecah 98 peratus. Ini kaedah bersasar yang memastikan SARA diguna untuk membeli barangan asas seperti makanan, ubat dan alat sekolah. SARA juga membantu 8,400 premis. Ini mesti dibetulkan kerana mengatakan premis terbatas.
Tidak. Premis ini 8,400, termasuk 2,000 kedai runcit kecil.
Dato' Seri Anwar bin Ibrahim
Saya sempat meninjau umpamanya kedai runcit Baling, Kedah. Melihat sendiri produk tempatan Kopi Cap Gantang, Kicap Lembu Berlaga boleh dibeli melalui SARA. Ini tentu boleh diperluaskan kedai runcit di desa dan kedai koperasi juga dilibatkan. Bagi tahun 2026, semua 9 juta penerima STR turut menerima SARA sehingga RM100 setiap bulan atau RM1,200 setahun. Manakala, 1 juta penerima STR di bawah eKasih menerima SARA sehingga RM200 sebulan atau RM2,400 setahun.
Kategori Bujang RM600 iaitu RM50 sebulan melalui SARA. Kadar maksimum diterima isi rumah miskin ialah RM4,600 iaitu pendapatan bawah RM2,500 sebulan dengan lima anak menerima STR RM2,200 dan SARA RM2,400.
31 Ogos lalu, semua rakyat 18 tahun ke atas mendapat RM100 penghargaan SARA. Lebih 70 peratus telah dibelanjakan dan sepertimana janji, baki SARA yang tidak dibelanjakan menjelang Disember akan diagih semula untuk rakyat, program rakyat miskin. Sukacita diumumkan, kerajaan sekali lagi akan memberikan RM100 SARA kepada 22 juta rakyat Malaysia 18 tahun ke atas.
[Tepuk] Ini akan disalur pada pertengahan Februari, yang boleh dimanfaatkan sempena persiapan Ramadan Karim dan sambutan Tahun Baru Cina. Terlalu awal untuk saya ucapkan xin nian jin pu, xin xian hao, nian nian hao.
[Tepuk] STR SARA 2026 berjumlah RM15 bilion. Peningkatan ini RM15 bilion ya, tapi ini hasil penjimatan yang diarah dari penyasaran subsidi seperti diesel dan RON95. Dia pulang balik kepada rakyat.
Ada kalangan rakyat yang cenderung memantau program ekonomi dari sudut kaum walaupun kita sedia maklum STR, SARA, SJKP, SJPP ini semua memberi manfaat kepada semua kaum tetapi masih perlu diberi penekanan bagi yang masih gusar. Jadi, saya nak sebut di sini, untuk bantuan STR dan SARA, kaum Melayu meningkat ya, daripada RM4.5 kepada RM7.1 bilion untuk 2025. Bumiputera Sabah dan Sarawak mendapat RM1.9 bilion. India, masyarakat India, RM1 bilion ya.
Jadi, janganlah bicara tentang satu projek tanpa melihat keseluruhannya.
Saya sentuh tadi SJKP. Jaminan kerajaan untuk pinjaman rumah. Bumiputera, RM12.3 bilion untuk 23 dan 24. India, RM1.9 bilion. Ini tidak termasuk MITRA, TEKUN dan AIM yang berjumlah RM220 juta.
SJPP, jaminan kerajaan untuk pinjaman perniagaan juga meningkat. PKS Cina untuk 2023, RM13.4 bilion. 2024, RM13.9 bilion. Maknanya lebih 75 peratus daripada jumlah SJPP. Saya sebut perkara ini supaya dalam segala perbincangan kita, Ahli-ahli Yang Berhormat, lihat secara menyeluruh. Kerana kalau kita pilih satu aspek, akan menunjukkan ada perbedaan. Tapi kalau kita lihat keseluruhannya, kita lihat dasar kita yang lebih menyeluruh dan adil.
Bantuan JKM terus disalurkan kepada lebih 560,000 penerima dengan peruntukan RM3.1 bilion. Tahun depan, RM1 bilion untuk menangani kos sara hidup termasuk RM600 juta bagi meningkatkan Program Payung RAHMAH di semua kawasan DUN di seluruh negara. Untuk rakyat pedalaman Sabah dan Sarawak, RM250 juta bagi menanggung kos pengedaran barang asas di kawasan, ke kawasan seperti Kawayoi, Kinabatangan, Sabah dan Nanga Segeris, di Sibu, Sarawak.
Bagi menggalakkan caruman KWSP, pekerja gig, e-hailing dan p-hailing akan diberi insentif caruman padanan sehingga RM600 setahun atau RM6,000 seumur hidup di bawah skim i-Saraan Plus. Akta Pekerja Gig 2025 mewajibkan caruman PERKESO untuk pekerja gig. Kerajaan bersetuju menanggung sehingga 70 peratus caruman skim keselamatan sosial pekerja sendiri bagi sektor yang belum dimandatorikan. Ini satu keputusan yang besar oleh Kerajaan MADANI.
Tan Sri Yang di-Pertua, pencari kerja, graduan baru yang menerima tawaran kerja yang perlu berpindah. Dia tinggal umpamanya di Sandakan, dia kerja di Kota Kinabalu, maka kita beri insentif bernilai sehingga RM1,000 daripada PERKESO. Ini belum saya dengar lagi dalam sejarah. Duduk di Bukit Mertajam, kerja di Kuala Lumpur, dapat RM1,000 untuk persiapan.
[Tepuk] Kepada kaum ibu, umur kelayakan i-Suri dinaikkan kepada 60 tahun, selari dengan usia persaraan minimum. PERKESO akan melengkapkan pusat rehabilitasi di Melaka, Perak, Terengganu dan terbaru di Pulau Pinang dengan pusat berkapasiti 2,050 katil.
PERKESO juga akan menaikkan kadar maksimum RM170 ketimbang RM150 bagi setiap rawatan hemodialisis dengan implikasi tambahan RM52 juta setahun.
Kita menuju negara tua menjelang 2043. Persediaan mesti dimulakan sekarang bagi menjamin kesejahteraan warga emas, sambil memperkukuh ekonomi penjagaan.
Maka rangka tindakan penuaan kebangsaan 2025–2045 akan digubal sebagai panduan strategik menyeluruh.
Untuk warga emas, ditingkatkan peruntukan kepada RM101.26 bilion yang melibatkan 180 ribu abang-abang, kakak-kakak, ibu bapa kita, di kalangan warga emas. Antaranya wang saku, bantuan sosioekonomi dan pusat aktiviti. Dari Tan Sri Yang di-Pertua, KPWKM membangunkan piawaian nasional sektor penjagaan dan menawarkan kursus TVET bagi care workers. KWAP menyediakan RM300 juta untuk merintis projek rumah warga emas mandiri. Dimulakan dengan projek awal di tanah wakaf di Kepala Batas dengan kerjasama Majlis Agama Islam, Pulau Pinang. Potensi serupa akan diteliti untuk di kawasan-kawasan lain.
Potongan cukai dua kali bagi syarikat yang menjalani latihan OKU akan diperluas untuk program latihan care worker atau pekerjaan jagaan yang diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan diperuntukkan RM46.5 bilion.
[Tepuk] Jadi, ini suatu peruntukan yang besar merungkai beberapa permasalahan utama sektor kesihatan.
Pertama, semua hospital dan klinik kerajaan akan diselenggara dan dibaik pulih dengan peruntukan RM1.2 bilion. Wad-wad hospital daerah seluruh negara dinaik taraf dengan peruntukan RM100 juta. Peralatan perubatan lapuk akan diganti untuk disiplin baru RM755 juta. SKMM bantu menyediakan RM650 juta untuk meningkatkan ketersambungan Internet di hospital awam, klinik kesihatan.
Kerjasama bagi menyumber luar pesakit ke hospital tentera, universiti dan swasta RM140 juta. Klinik kesihatan turut diperkasa RM30 juta.
Kerajaan akan membina hospital, klinik dan blok tambahan meliputi di antara lain senarainya yang penuh saya lampirkan Tan Sri Yang di-Pertua, dia dianggap lampiran dan teks penuh itu sebagai dibaca. Ini Hospital Sultanah Aminah dan beberapa yang disenaraikan.
Inflasi perubatan membebankan rakyat. Oleh itu, RM60 juta dana bersama kerajaan dan industri disediakan bagi memperkenalkan produk insurans asas mampu milik untuk semua.
Dato' Seri Anwar bin Ibrahim
Jadi, caruman perlindungan insurans atau takaful, pelepasan cukai pendapatan individu sehingga RM3,000 bagi bayaran premium insurans nyawa atau sumbangan takaful nyawa diperluas meliputi anak.
Pengecualian duti setem ke atas polisi insurans atau sijil takaful dilanjutkan sehingga 2028. Hospital swasta dibenar menubuhkan tabung kebajikan hospital.
Pendapatan diterima yang dikecualikan cukai dan pihak menyumbang layak mendapat potongan cukai walaupun perbelanjaannya harus dipantau.
Pencarum KWSP boleh menggunakan simpanan dalam Akaun Sejahtera untuk melanggan pelan asas insurans atau takaful perubatan dan kesihatan.
mySalam membayar tuntutan sebanyak RM1.2 bilion dan akan diteruskan bagi tahun 2026 bagi membantu rakyat yang susah mendapat perlindungan.
Doktor kontrak. Sejak 2023 hingga 2025, Kerajaan MADANI meluluskan 1,500 jawatan tetap tambahan bagi menyerap doktor ke jawatan tetap. Termasuk pengisian tahunan, sejumlah 12,900 doktor kontrak telah diserap ke jawatan tetap, ya.
[Tepuk] Sukacita diumumkan, kerajaan meluluskan seramai 4,500 doktor kontrak akan ditawarkan jawatan tetap tahun depan. 830 jururawat kontrak telah ditawarkan lantikan tetap tahun ini. Tahun depan, 935 graduan Institut Latihan KKM akan ditawar ke jawatan tetap.
Kadar fi perunding pengamal perubatan am tidak disemak sejak 2006.
Kerajaan bersetuju menetapkan semula kadar fi perunding antara RM10 hingga RM80. Sukacita saya umumkan, kadar Elaun Tugas Atas Panggilan (ETAP) yang tidak dikaji sejak 2011, dinaikkan sekitar 40 peratus [Tepuk] dan ini juga rekod, kerana kita mula dari 1 Oktober. Maknanya doktor boleh claim dari 1 Oktober. Ini jarang-jarang berlaku bila kita putuskan belanjawan, kita beri ruang kepada doktor yang bersusah payah bekerja, [Tepuk] yang bertugas, panggil aktif dan sebagainya dan kita awalkan ke 1 Oktober. Walaupun pada mulanya kita fikir 1 November, ya.
Kerajaan juga akan merintis projek usaha sama awam-swasta bagi ubat- ubatan penting yang akan meningkat keterjaminan bekalan makanan, bekalan ubat negara serta daya saing industri ubat tempatan.
Bagi mengurangkan prevalens perokok di Malaysia, kadar duti eksais ke atas produk rokok dinaikkan berkuat kuasa mulai 1 November 2025.
[Tepuk] Rokok naik 2 sen saja sebatang. Cigars, cheroots dan cigarillos entah apa ini, naik RM40 per kilogram. Produk heated tobacco. Ada heated tobacco? [Bertanya kepada Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah [Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi] Naik RM20 per kilogram kandungan tembakau. Tan Sri Speaker sedia maklumkan ini, saya tidak sangat arif.
Bagi mengurangkan akses kepada minuman beralkohol dan menggalakkan gaya hidup sihat dan memandu cermat, [Tepuk] kerajaan bersetuju. Tiong. [Dewan ketawa] [Tepuk] Kerajaan bersetuju menaikkan kadar duti eksais bagi produk minuman keras dinaikkan sebanyak 10 peratus mulai 1 November 2025. Okey.
Okey, Yang di-Pertua, hasilnya itu, daripada rokok, daripada minuman keras, semuanya dipindah ke Kementerian Kesihatan untuk paru-paru, [Tepuk] diabetes, penyakit jantung.
Untuk pendidikan, kita telah usulkan sistem pengilmuan lebih menyeluruh dan tangkas menanggapi tuntutan masa depan dan RUU Pendidikan 2025 lulus di Dewan ini. Tahun depan, Kementerian Pendidikan menerima RM66.2 bilion. Amat tinggi. Mutu prasarana sekolah, kekal menjadi keutamaan Kerajaan MADANI. RM2 bilion bagi menaik taraf lebih 520 sekolah daif khususnya di Sabah dan Sarawak, selain membaik pulih dan menyelenggara semua jenis sekolah, termasuk satu sekolah Cina dan Tamil yang daif.
38 buah sekolah baru akan dibina. Antaranya:
(i) Sekolah Kebangsaan Sri Sadong, Serian;
(ii) Sekolah Kebangsaan Sebandar, Tuaran;
(iii) Kompleks Sekolah Bandar Layangkasa, Johor.
(iv) Selain itu, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil, Ladang Jeram, Pahang; dan
(v) Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Aik Hua juga akan dibina semula.
Ini untuk perbaiki dan meningkatkan keupayaan termasuk sekolah sedia ada.
Pembinaan bilik darjah tambahan melalui kaedah IBS itu akan dipercepatkan.
RM100 juta disediakan bagi membina bilik darjah tambahan di lebih 100 sekolah berkepadatan tinggi. 350 buah kelas prasekolah di bangunan sedia ada dengan peruntukan RM100 juta.
Anak-anak yang susah mendapat pelajaran demi masa depan lebih baik diberikan keutamaan. RM150 juta Biasiswa Kecil Persekutuan.
RM870 juta Rancangan Makanan Tambahan untuk membekal makanan berkhasiat kepada 870,000 murid.
Bantuan Am Persekolahan diberi kepada murid miskin sehingga Tingkatan 3.
Kita perluas sehingga Tingkatan 5 dengan peruntukan RM180 juta.
RM150 Bantuan Awal Persekolahan disediakan. Mulai 2026, Ahli-ahli Yang Berhormat, penyaluran bantuan akan dibuat di sekolah dan tidak dimasuk ke akaun ibu bapa. Ini bagi memastikan hubungan baik ibu bapa dengan sekolah dan guru supaya mendapat pemahaman dan pendidikan lebih baik kepada anak-anak.
Selari dengan tuntutan literasi digital, televisyen pintar akan dibekalkan kepada 10,800 kelas prasekolah, taska dan tabika seluruh negara. Isu keciciran pendidikan ditangani melalui Program Anak Kita dengan kerjasama Yayasan Hasanah. RM115 juta disediakan bagi membekalkan guru dengan latihan persediaan kurikulum 2027 dan latihan pedagogi STEM. Kepada ibu bapa yang cekal membesarkan anak-anak istimewa, kerajaan berikrar untuk terus membela kebajikan dan pendidikan anak-anak istimewa. Dua sekolah pendidikan khas baharu dibina, SMK Pendidikan Khas Kota Damansara, SMK Pendidikan Khas Pasir Mas, Kelantan.
150,000 murid OKU menerima elaun RM150 sebulan. Kemudahan sekolah dan peralatan ditambah baik supaya mesra OKU. Kementerian Pendidikan Tinggi menerima RM18.6 bilion. RM400 juta untuk menyelenggara prasarana dan mengganti peralatan usang. Tiada anak muda harus terhenti cita-cita kerana kekangan kewangan. GLIC memperuntukkan RM4.4 bilion untuk biasiswa bersama kerajaan, RM4.4 bilion biasiswa pinjaman. Sementara itu, pihak swasta diberi insentif potongan cukai dua kali ke atas perbelanjaan biasiswa kepada pelajar berkelayakan.
Program Celik MADANI PNB diteruskan dengan pemberian pelaburan awal RM50 dalam ASB atau ASM kepada 200,000 pelajar.
Dapur MADANI yang dulunya food bank dan segala macam, dilaksanakan untuk mengusahakan bantuan makanan kepada mahasiswa susah melalui CSR sektor swasta.
Program MySiswa Job on Campus diperkenalkan dan ditingkatkan, khususnya bagi mahasiswa yang susah.
Dato' Seri Anwar bin Ibrahim
Universiti juga sedang berdepan dengan krisis penginapan. Sebagai langkah awal, KWSP dan Universiti Malaya akan merintis kerjasama membina 1,000 unit residensi di Universiti Malaya.
PTPTN lahir tentunya dari iltizam mengeluarkan anak bangsa dari kancah kemiskinan melalui pendidikan. Sukacita saya umumkan, mulai tahun 2026, bagi keluarga miskin iaitu pendapatan isi rumah kurang daripada RM2,705, kerajaan memberikan pendidikan percuma PTPTN.
[Tepuk] Ini satu permulaan yang berani yang belum difikirkan dulu. Tan Sri Yang di-Pertua, kita harap ini dapat ditingkatkan mengikut keupayaan kewangan negara berikutnya.
Kerajaan juga bersetuju mengecualikan bayaran balik PTPTN kepada semua mahasiswa yang memperoleh Ijazah Sarjana Muda Kepujian Kelas Pertama di IPTA dari keluarga pendapatan rendah dan menengah. Ini memanfaatkan sekitar 6,000 peminjam. Kerajaan juga akan mengenakan sekatan perjalanan ke luar negara kepada peminjam yang mampu bayar dan bekerja di luar negara. Ada yang bekerja di luar negara yang pendapatan tinggi tapi culas membuat bayaran balik.
Kerajaan juga prihatin kepada kegusaran ramai pelajar cemerlang, terutama lulusan STPM untuk mendapat tempat di IPT terpilih. Dengan itu, kerajaan mengumumkan untuk menambah 1,500 lagi unjuran tempat bagi Ijazah Sarjana Muda dari 10 bidang pengajian di lima universiti pendidikan, antaranya undang- undang, perakaunan, ekonomi, perbankan, kewangan Islam, AI serta bahasa.
Bagi memperkasa bidang perubatan, dua projek awam swasta iaitu pembangunan Teknopolis Kesihatan UKM serta Universiti Malaya Health Metropolis untuk membangunkan hospital di Petaling Jaya dengan kerjasama Kerajaan Negeri Selangor. Hospital pengajar universiti awam menubuhkan tabung endowmen dan diberi kecualian cukai pendapatan.
Dalam bidang aeronautik diperkasa dengan peruntukan 16 juta. UniMAP membangunkan Air Space Sandbox di Sungai Batu Pahat, Perlis. UTHM, universiti pertama Asia Tenggara, dengan lapangan terbang, akan menyokong sektor penerbangan maritim dan melahirkan juruterbang amfibia tempatan.
Kepada pengguna pengangkutan awam, perkhidmatan bas henti-henti termasuk menambah laluan baru dan bas tambahan di Johor Bahru. Walaupun perkhidmatan udara luar bandar diserah kepada kerajaan Sarawak, Kerajaan MADANI ini tetap menyediakan RM209 juta untuk maksud tersebut.
KTMB diberikan secara percuma kemudahan kepada komuniti OKU, murid sekolah dan anak-anak di bawah enam tahun. ETS mula beroperasi ke stesen Kluang Ogos lalu. Fasa akhir ke Johor Bahru Sentral dijangka siap akhir 2025. LRT3 dijangka beroperasi akhir 2025. Ini menghubungkan Bandar Utama, Damansara ke Johan Setia, Klang yang mampu membawa lebih 6,200 penumpang setiap jam.
ECRL Fasa 1 Kota Bharu-Gombak dijangka siap akhir 2026. Landasan kereta api berkembar elektrik di Lembah Klang Fasa 2 dijangka siap 2029. Ini menghubungkan Bandar Tasik Selatan ke Seremban, Simpang Pelabuhan Klang ke Port Klang. LRT Laluan Kelana Jaya ditingkatkan melalui penggantian 26 unit tren baru oleh Prasarana. LRT Laluan Mutiara dilaksanakan untuk memanfaatkan 1.8 juta penduduk dan 3.5 juta pengunjung luar ke Pulau Pinang.
Kita tentunya dukacita atas tragedi demi tragedi meragut nyawa di jalan raya.
Kemalangan bas di UPSI, pelajar UPSI, nahas bas pelancong Ayer Hitam, kemalangan trak anggota polis Teluk Intan, hinggalah insiden lori di Plaza Tol Bukit Kajang baru-baru ini. Kementerian Pengangkutan akan menetapkan peraturan had kelajuan untuk kenderaan barat. Kenderaan berat. RM2.5 bilion sementara itu dibelanjakan untuk menyelenggara Jalan Persekutuan termasuk Sabah dan Sarawak. RM700 juta dikhaskan untuk kontraktor G1, G4. RM5.6 bilion pemberian MARRIS kepada negeri dan RM30 juta untuk memperkasa peranan jurutera daerah.
Kereta yang melebihi 20 tahun yang tidak ekonomik berisiko menjejas keselamatan. Kerajaan bersama syarikat pengeluaran kenderaan nasional menyediakan geran padanan sehingga RM4,000 untuk menggalakkan pemilik melupuskan kenderaan lama dan membeli kenderaan nasional yang baru.
[Tepuk] Kata Buya Hamka, “Jangan biarkan kota menjadi megah tapi hati manusia di dalamnya kontang dan kering. Hati yang subur adalah kota sebenar bagi peradaban”.
Jadi, sebab itu kita perkenalkan konsep Kota MADANI yang lahir dari kekuatan dalaman untuk memaknai falsafah MADANI. Kota MADANI Presint 19 merupakan kota pertama dalam negara yang dianggap smart city, AI dan hijau, menyediakan 10,000 rumah dengan 80 peratus untuk penjawat awam.
Sekolah vertikal mengoptimum sumber di kawasan kepadatan tinggi, sekolah dan perumahan di bangunan yang sama. Tiga projek rintis termasuk Kota MADANI Presint 19, Putrajaya; Rumah Bakat MADANI SkyWorld Pearlmont Seberang Perai, Pulau Pinang; Residensi Aman MADANI, Bandar Sri Permaisuri, Kuala Lumpur.
Program Residensi Rakyat dan Rumah Mesra Rakyat itu ditingkatkan dan sebilangan projek siap tahun depan untuk memanfaat 33,000 penghuni, antaranya PRR Ayer Lanas, Jeli, Kelantan dan PRR Masai, Johor. 80,000 pembeli rumah pertama ditawarkan jaminan SJKP, meningkat sehingga RM20 bilion ketimbang RM10 bilion tahun sebelumnya. 3,300 rumah daif termasuk 350 rumah nelayan akan dibaik pulih atau dibina baru. RM140 juta untuk selenggara rumah strata kos rendah, sederhana termasuk penggantian lif-lif yang usang di bawah pengendalian KPKT.
RM90 juta menambah baik prasarana asas Kampung Baru Cina dan Kampung India.
RM95 juta baik pulih dan menaik taraf tandas awam serta taman awam di semua PBT.
Kepada pembeli rumah pertama sehingga RM500,000, surat cara pindah milik dan perjanjian pinjaman diberikan pengecualian duti setem sepenuhnya sehingga 31 Disember 2027.
[Tepuk] Duti setem pada kadar rata ditingkatkan daripada empat kepada lapan peratus, ke atas surat cara pindah milik rumah kediaman oleh individu bukan warganegara dan syarikat asing.
Untuk pengubahsuaian dan menukar bangunan komersial kepada tempat kediaman akan diberi potongan cukai khas bersamaan 10 peratus daripada perbelanjaan yang layak. Terhad sehingga RM10 juta.
Premis agama masyarakat pelbagai kaum disediakan peruntukan RM50 juta untuk membaik pulih dan menyelenggara rumah ibadat bukan Islam termasuk di Sabah dan Sarawak.
Syiar Islam terus tertegak di negara ini dengan peruntukan Belanjawan RM2.6 bilion. 300 sekolah pondok berdaftar dan hampir 160 tidak berdaftar. Seperti sedia maklum, peruntukan untuk sekolah agama rakyat dulu pernah dibatalkan tapi sekarang disambung. Sekolah agama rakyat dan sekolah tahfiz akan ditambah baik, termasuk penggantian peralatan usang di sekolah pondok berdaftar. 720 anak-anak tahfiz akan dibekalkan latihan kemahiran profesional melalui GIATMARA.
Institusi masjid terus diamarah sebagai pusat komuniti. Anugerah Masjid Malaysia akan diperkenal bagi mengiktiraf masjid cemerlang. Konvensyen Masjid turut dianjurkan sebagai wacana antara imam, ulama, umara, sarjana Islam dan teknokrat. Ini selari dengan firman Allah SWT.
[Membaca sepotong ayat Al-Q'ran] Maknanya, “Memakmurkan masjid Allah itu, untuk orang-orang yang beriman pada Allah dan hari akhirat, mendirikan solat, menunaikan zakat dan tidak akan gentar melainkan kepada Allah. Kalau ada sebut sifat-sifat tersebut, mereka akan digolongkan sebagai orang-orang yang mendapat hidayah”. Majlis ilmu kita tingkatkan untuk meningkatkan kefahaman dan ini termasuk penganjuran besar-besaran Majlis Sama’ Hadis tahun lalu Imam Bukhari dan tahun ini Imam Muslim.
Dato' Seri Anwar bin Ibrahim
Usaha Malaysia melalui Yayasan Restu dan JAKIM untuk mencetak satu juta naskhah al-Quran ke dalam 30 bahasa utama dunia mendapat sambutan yang amat positif. Kerajaan turut perkenalkan Mushaf MADANI sebagai sebahagian program tadabur al-Quran di peringkat kebangsaan. Kerja-kerja akan bermula untuk membangunkan Kompleks Madinatul Quran di Putrajaya.
Had pengeluaran KWSP pula— tajuk lain, Tan Sri Yang di-Pertua. Untuk tujuan menunaikan haji ditingkatkan kepada RM10,000 ketimbang RM3,000 sekarang. Untuk penjawat awam, pengeluaran awal GCR diperluas. Begitu juga menunaikan haji terhad kepada penebusan RM10,000.
Perpaduan ini dengan semangat segulai sejalai wajib dipertahankan.
Percikan api untuk menanam bibit kebencian harus dikawal dan dihentikan. Di samping itu, mengukuh tradisi, kesenian tatasusila dan perpaduan nasional ke arah peradaban negara bangsa diperkenalkan melalui dua modul falsafah dan cabaran semasa serta aspirasi negara bangsa. Dan, dana diperuntukkan untuk memperbanyakkan program-program perpaduan dan identiti kebangsaan.
Tiga pusat aktiviti perpaduan baharu dibina. Kompleks Perpaduan Bukit Besar Kuala Terengganu, Pusat Aktiviti Perpaduan Bandar Sri Iskandar, Perak dan Miri, Sarawak. Dalam sorak sorai di stadium dan di kedai mamak, tidak mungkiri, dimungkiri bahawa sukan ialah wahana membina jati diri bangsa. RM30 juta geran padanan disediakan untuk menyokong persatuan dan NGO, mengadakan program sukan rakyat termasuk manfaat peranan Rukun Tetangga MADANI sebagai jambatan yang menggerakkan aktiviti kekeluargaan dan kejiranan.
Sambutan Hari Kebangsaan tahun ini lebih meriah apabila gandingan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei serta Pearly Tan-Thinaah Muralitharan melakar sejarah beregu campuran dan wanita pertama yang meraih kejayaan kejohanan badminton dunia.
[Tepuk] Kita juga bawa pulang 25 emas, 16 perak, 11 gangsa dan dinobat selaku juara keseluruhan Sukan SEA Pekak 2025.
Terbaharu, Datuk Latif Romly sekali lagi memecah rekod sendiri dan meraih emas dalam acara lompat jauh di Kejohanan Olahraga Para Dunia. Jadi, kita harus di kesempatan ini juga memberikan dukungan kepada sukan dan olahraga negara.
Sebab itu peruntukan ditambah lebih RM580 juta. Antaranya untuk Road to Gold, persediaan temasya Sukan SEA dianjurkan di Sarawak dan beberapa negeri, Sukan Para ASEAN 2027 dan pemerkasaan atlet para. Kerajaan bersetuju membenarkan organisasi yang diluluskan oleh LHDNM untuk mengguna sebahagian daripada pendapatan diterima bagi menjalankan aktiviti sukan.
Bahasa Melayu. Ha, ini penting. Ini nadi identiti bangsa dan wahana pemikiran kebangsaan mesti terus dipupuk dalam jiwa setiap rakyat. Seyogia diperingatkan Kementerian Pendidikan akan terus mengutamakan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu di semua sekolah dan aliran. Tapi kita perhatikan terdapat kecuaian pelaksanaan yang bercambah kerana ada sekolah antarabangsa yang bercambah sekarang, ya dan 249 sekejap begitu, diwajibkan bahasa Melayu dan kenegaraan, tetapi nampak ada yang pandang ringan. Oleh itu, kerajaan telah mengarahkan supaya pemantauan mewajibkan sekolah-sekolah antarabangsa, mewajibkan anak-anak Malaysia mempelajari bahasa Melayu dan kenegaraan mulai tahun depan secara serius dan tidak hanya mengambil sambil lewa.
Untuk ini, kita juga terima kasih kerana kejayaan mengadakan hadiah bahasa dan memperkasa warisan bahasa sebagai lambang maruah dan keunggulan tamadun bangsa. Dalam menyebutkan soal kepentingan bahasa ini, kita juga terima kenyataan bahawa Malaysia harus secara serius meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dalam sistem pendidikan negara harus diberi keutamaan dimulai— mulai di peringkat rendah. Jadi, kita harap ini dapat diteliti dan peningkatannya dapat disaksikan mulai tahun depan.
Insentif galakan kepada penerbit filem tempatan dan antarabangsa disediakan, termasuk ekosistem kreatif digital, penggiat kreatif animasi dan permainan digital tempatan. Tan Sri Yang di-Pertua, saya ingin mengambil kesempatan ini merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh penjawat awam yang saban hari menjalankan amanah berkhidmat menjayakan dasar-dasar MADANI demi kesejahteraan rakyat.
[Tepuk] Kemudahan perumahan penjawat awam ditambah baik. RM2.2 bilion disediakan bagi membina, menyelenggara dan membaiki kuarters termasuk doktor, jururawat, tentera, polis, guru, bomba, penjara. Rumah keluarga Angkatan Tentera di Pangkalan Udara Kuantan akan dibina untuk manfaat 800 anggota tentera dengan kos RM500 juta. Rumah untuk dijadikan kuarters kepada anggota ESSCOMM di Lahad Datu, anggota imigresen di Lipis dan imigresen Kuala Lumpur.
Kepada kakitangan kontrak yang sukar mendapat pinjaman perumahan pertama, SJKP akan menjamin pinjaman sehingga 120 peratus dengan nilai keseluruhan RM1 bilion. BSN menyediakan RM500 juta untuk membiayai pinjaman rumah pertama penjawat awam kontrak. Ini bakal memanfaatkan kakitangan kontrak, termasuk guru tabika dan taska KEMAS. Had kelayakan maksimum pembiayaan LPPSA akan dinaikkan sehingga RM1 juta selaras dengan pelarasan gaji dan peningkatan harga pasaran hartanah.
Pembiayaan kali kedua dipermudah tanpa perlu menyelesaikan pembiayaan pertama, tertakluk kepada had kelayakan baki pembiayaan. Ini diperkenalkan seawal suku keempat 2026. Bantuan Sara Hidup 4,000 pesara kontrak KEMAS ditingkatkan daripada RM300 kepada RM500 sebulan.
[Tepuk] Anggota tentera menghargai pengorbanan keperwiraan mereka, khususnya pemegang Pingat Jasa Malaysia.
Kerajaan bersetuju memberikan bayaran khas kepada hampir 120,000 pemegang Pingat Jasa Malaysia RM500 dengan peruntukan RM60 juta.
[Tepuk] Kerajaan akan menyediakan elaun sara hidup RM900 kepada penerima Hadiah Latihan Persekutuan separa biasiswa mulai 2026.
Kali terakhir gaji hakim dinaikkan ialah pada tahun 2015. Hakim-hakim tidak menerima kenaikan gaji tahunan seperti skim lain. Mereka juga tidak diizinkan untuk memegang jawatan dan perniagaan secara terbuka atau secara senyap. Atas kesedaran itu, sistem badan kehakiman yang pernah dianggap tercalar dulunya, tapi kita harus berbangga dengan kerana tekad badan kehakiman sekarang ke arah lebih berwibawa, lebih integriti dan bebas.
Atas semangat tersebut, kerajaan bersetuju menaikkan gaji hakim sehingga 30 peratus mulai 1 Januari 2026.
[Tepuk] Sementara itu, suka saya tegaskan untuk semua anggota Jemaah Menteri, mengenang jasa khidmat dan pengorbanan mereka akan terus menerima potongan 20 peratus gaji. Saya ucap terima kasih di atas persetujuan kesediaan mereka.
[Dewan riuh]
Dato' Seri Anwar bin Ibrahim
[Ketawa]
Seorang Ahli
[Berucap tanpa menggunakan pembesar suara] Pengorbanan yang besar.
Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim
[Ketawa] Susulan penstrukturan semula gaji penjawat awam, SSPA fasa 2 akan berkuat kuasa mulai Januari 2026. Gaji 2026 akan melibatkan penambahan RM18 bilion. Itu Januari. Kemudian, ditambah STR dan SARA bulanan. Saya dengan ini mengumumkan bantuan khas kewangan kepada semua penjawat awam gred 56 ke bawah, termasuk latihan kontrak sebanyak RM500.
[Tepuk]
Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim
Ini termasuk pesara kerajaan, termasuk veteran berpencen, veteran tidak berpencen sebanyak RM250. Bantuan ini akan disalurkan pada awal Mac sempena menyambut Aidilfitri Mubarak. Kerajaan juga bersetuju menyalurkan sumbangan khas RM500 bagi menghargai khidmat 70,000 Guru KAFA, guru takmir, imam, bilal, tok siak, noja dan marbut.
Tan Sri Yang di-Pertua, alhamdulillah, buat pertama kalinya atau julung kali kita menganjurkan Sidang Kemuncak ASEAN bersama negara-negara Teluk dan China, di samping berjaya meredakan konflik Kemboja–Thailand serta membuka jalan penyertaan penuh Timor-Leste sebagai anggota ASEAN. Tahniah dan penghargaan setingginya kepada Kementerian Luar yang menggagaskan peranan yang hebat ini.
Dalam sejarah peradaban manusia, bangsa yang kekal adalah bangsa yang tahu memelihara maruah sambil bersikap terbuka kepada dunia atau mana-mana blok ekonomi atau kuasa dan keras menyanggah kezaliman tanpa menolak hikmah serta menginsafi bahawa kekuatan sebenar sesebuah negara terletak pada keteguhan moral serta prinsip keadilan dan kemanusiaan sejagat.
Kini, ketika Malaysia mempengerusikan ASEAN 2025, kita berdepan dengan percaturan kuasa dan tragedi kemanusiaan di Gaza akibat kezaliman Zionis Israel.
Terkini, Malaysia menyambut baik dan menaruh harapan terhadap usaha damai yang diterajui Amerika Syarikat bersama Mesir dan Qatar bagi memastikan rundingan antara Hamas dan Israel membuahkan hasil yang menjamin kebebasan serta kemerdekaan rakyat Palestin.
[Tepuk] Parlimen Malaysia juga merakamkan penghargaan setinggi-tinggi atas usaha murni para sukarelawan yang menunjukkan kecekalan membelah samudera melalui ikhtiar Sumud Nusantara Flotilla yang pastinya telah mencelikkan dunia tentang keperluan mengangkat nilai kemanusiaan dan menegak keadilan. Tan Sri Yang di- Pertua, Ahli-ahli Yang Berhormat, dunia menuntut keberanian moral dan kebijaksanaan diplomasi untuk membina ufuk baru yang menjanjikan keamanan, keadilan dan kemanusiaan sejagat.
Madah pujangga Muhammad bin Salleh, *“Jikalau akarku merangkak ke tanah ini, akan lainlah buahnya nanti.
Getahnya akan jadi aneh, kental atau beku, atau mengalir melawan arus.”* Saya ingin memaklumkan, teks sahih sepenuhnya boleh diedarkan dan saya mohon mencadangkan. *Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
[Tepuk]*
Tuan Yang di-Pertua
Baik, ada sesiapa yang menyokong?
Menteri Kewangan II - Datuk Seri Amir Hamzah Azizan
Tan Sri Yang di- Pertua, saya mohon menyokong.
Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah - Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi
Tan Sri Yang di-Pertua, saya menyokong.
Tuan Yang di-Pertua
Baik.
Tuan Yang di-Pertua
Sila Yang Berhormat.
Perdana Menteri dan Menteri Kewangan - Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim
Tan Sri Yang di-Pertua, saya mohon mencadangkan bahawa Usul di atas nama saya di dalam Aturan Urusan Mesyuarat yang berbunyi; “Bahawa Dewan ini, mengikut subseksyen 4(3) Akta
Kumpulan Wang Pembangunan 1966 - Akta 406
, membuat ketetapan iaitu suatu jumlah wang sebanyak tidak lebih dari lapan puluh tiga bilion Ringgit (RM83,000,000,000) dibelanjakan daripada Kumpulan Wang Pembangunan bagi tahun 2026, dan bagi tujuan dan butiran Perbelanjaan Pembangunan yang dinyatakan di bawah Maksud Pembangunan atau (“P”) dalam senarai Anggaran Perbelanjaan Persekutuan 2026, yang dibentangkan sebagai Kertas Perintah 12 Tahun 2025, adalah diuntukkan di bawah Maksud- maksud yang berkenaan jumlah-jumlah yang bersetentangan dengan butiran-butiran itu di ruangan enam dan tujuh di senarai tersebut”.
Tuan Yang di-Pertua
Baik. Terima kasih. Ada yang menyokong?
Menteri Kewangan II - Datuk Seri Amir Hamzah Azizan
Tan Sri Yang di- Pertua, saya mohon menyokong.
Tuan Yang di-Pertua
Baik, terima kasih. Ahli Yang Berhormat, mengikut peruntukan Peraturan Mesyuarat 66(3), perbahasan di atas Usul-usul bagi Bacaan Kali Yang Kedua atas Rang Undang-undang Perbekalan 2026 dan Usul Anggaran Perbelanjaan Pembangunan Tahun 2026, hendaklah ditangguhkan kepada suatu tarikh tidak kurang daripada dua hari, setelah Usul-usul tersebut dicadangkan dan disokong.
Dengan yang demikian, mesyuarat hari ini ditangguhkan hingga jam 10 pagi hari Isnin, 13 Oktober 2025. Sekian, terima kasih.
[Dewan ditangguhkan pada pukul 6.05 petang]