Oct072025

Katalog Hansard

Dewan Rakyat
  Draf

[Tuan Yang di-Pertua **mempengerusikan Mesyuarat****]

draft • 10:00 AM

Tuan Yang di-Pertua

Assalamualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh dan selamat pagi, salam sejahtera. Hari ini sepatutnya pagi ini kita ada Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri yang dua soalan telah dikemukakan oleh Paya Besar dan juga Masjid Tanah. Namun, saya difahamkan bahawa Perdana Menteri tidak dapat hadir pada pagi ini kerana dititah oleh Majlis Raja-Raja untuk berada di Istana Negara jam 10.00 pagi. Oleh demikian, saya menjemput Menteri untuk membacakan usul.

draft • 10:00 AM
USUL
MEMINDA SUSUNAN ATURAN URUSAN MESYUARAT DI BAWAH P.M. 14(2)

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) - Dato’ Seri Azalina Othman Said

Tuan Yang di-Pertua, “Mengikut Peraturan Mesyuarat 14(2), saya mohon mencadangkan supaya urusan Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri ditiadakan dan Aturan Urusan Mesyuarat diteruskan sekarang dengan Waktu Pertanyaan-pertanyaan bagi Jawapan Lisan dan selepas itu disambung semula dengan urusan dalam aturan mesyuarat hari ini.”

draft • 10:04 AM

Tuan Yang di-Pertua

Baik. Terima kasih. Ada yang menyokong?

draft • 10:04 AM

Timbalan Menteri Kerja Raya - Datuk Seri Haji Ahmad bin Haji Maslan

Saya mohon menyokong.

draft • 10:04 AM

Tuan Yang di-Pertua

Baik. Terima kasih. Ahli Yang Berhormat, sekarang saya kemukakan masalah kepada Majlis untuk diputuskan. Masalahnya ialah usul seperti yang dikemukakan tadi hendaklah disetujukan.

draft • 10:04 AM

[Usul dikemukakan bagi diputuskan; dan disetujukan]

Tuan Yang di-Pertua

Setiausaha.

draft • 10:04 AM
PERTANYAAN-PERTANYAAN BAGI JAWAB LISAN

Tuan Yang di-Pertua

Baik. Kita mulakan pertanyaan hari ini dengan lebih awal. Namun, untuk makluman Paya Besar dan Masjid Tanah yang telah kemukakan soalan untuk Pertanyaan Menteri yang akan dijawab oleh Perdana Menteri ini, saya akan adjust-kan kepada satu tarikh yang lain tanpa payah― tak payah masuk lagi soalan ini ya. Insya-Allah.

Baik. Untuk itu, saya jemput Tuan Mordi Bimol, Mas Gading. Silakan.

draft • 10:04 AM

Tuan Mordi anak Bimol - Mas Gading

Terima kasih Tan Sri Speaker.

Soalan Mas Gading nombor 1.

draft • 10:04 AM

1. Tuan Mordi anak Bimol [Mas Gading] minta Menteri Pengangkutan menyatakan tindakan menyeluruh terhadap audit keselamatan JPJ yang melibatkan pengusaha kenderaan komersial:

(a) perancangan dan jadual audit ke atas kira-kira 300,000 syarikat serta jumlah yang telah diaudit; dan

(b) pelan pendigitalan proses audit keselamatan bagi mempercepat pengesanan ketidakpatuhan dan mengurangkan kerenah birokrasi.

draft • 10:04 AM

Tuan Yang di-Pertua

Silakan, Menteri.

draft • 10:04 AM

Menteri Pengangkutan - Tuan Loke Siew Fook

Terima kasih Tan Sri Yang di-Pertua. Salam sejahtera, salam Malaysia MADANI, Ahli-ahli Yang Berhormat.

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, pelaksanaan pemeriksaan dan audit keselamatan JPJ ataupun dinamakan sebagai JISA― JPJ Inspection and Safety Audit adalah bertujuan untuk memantau tahap pematuhan syarikat pengendali kenderaan komersial kepada Kod Tata‘amanah’ Industri, Industrial Code of Practice

(ICOP) berkenaan aspek keselamatan dalam industri pengangkutan.

Audit JISA merangkumi lima elemen utama iaitu pengurusan keselamatan, pengurusan kenderaan, pengurusan pemandu, pengurusan rekod dan pengurusan risiko. Setiap pengendali diwajibkan mematuhi tujuh perkara mandatori di bawah ICOP termasuk pelantikan pegawai keselamatan, pemasangan dan pemantauan GPS, pematuhan masa pemanduan dan rehat, penyediaan pelan tindakan kecemasan serta penyediaan nombor hotline syarikat bagi tujuan aduan awam.

Berdasarkan rekod sehingga 30 April 2025, jumlah syarikat pengendali kenderaan perdagangan yang berdaftar adalah sebanyak 48,002 syarikat dan bukannya 300,000 syarikat seperti yang dimaklumkan oleh Yang Berhormat.

Kekeliruan ini mungkin berpunca daripada perbezaan antara bilangan syarikat pengendali dengan jumlah keseluruhan kenderaan perdagangan berlesen iaitu sebanyak 372,586 kenderaan bas dan lori di bawah kawal selia Agensi Pengangkutan Awam Darat. Jadi, ada perbezaan antara lesen syarikat pengendali dengan permit kenderaan. Ini dua perkara yang berbeza.

Sehingga 31 Ogos 2025, JPJ telah melaksanakan sebanyak 7,228 audit JISA di seluruh negara merangkumi pelbagai kategori operasi. Pelaksanaan audit ini merupakan langkah berterusan bagi memastikan tahap pematuhan industri terhadap piawaian keselamatan terus dipertingkat, seterusnya menyokong usaha MOT bagi mengurangkan kadar kemalangan melibatkan kenderaan berat secara signifikan demi menjamin keselamatan pengguna jalan raya.

Tan Sri Yang di-Pertua, untuk makluman Ahli Yang Berhormat, JPJ sedang melaksanakan pelan pendigitalan proses audit keselamatan melalui pembangunan sistem digital JISA yang membolehkan modul audit dan pemantauan dilaksanakan secara kendiri dengan mekanisme pengesahan serta kawalan bagi memastikan proses audit dilaksanakan secara telus, cekap dan berintegriti. Sistem ini dijangka siap dan akan digunakan pada tahun 2027.

Melalui pelaksanaan sistem ini, data daripada peranti Global Positioning System (GPS) akan diintegrasikan terus ke dalam pangkalan data JISA bagi membolehkan pengesanan ketidakpatuhan secara masa nyata termasuk aktiviti seperti pemanduan melebihi had kelajuan, penyimpangan laluan dan operasi di luar waktu yang dibenarkan. Langkah pendigitalan ini dijangka dapat mempercepat pengesanan ketidakpatuhan, meningkatkan kecekapan penguatkuasaan dan mengurangkan kerenah birokrasi sejajar dengan aspirasi kerajaan melalui MOT untuk mempercepatkan transformasi digital dalam sektor pengangkutan negara.

Terima kasih.

draft • 10:04 AM

Tuan Yang di-Pertua

Baik. Saya jemput Mas Gading.

draft • 10:04 AM

Tuan Mordi anak Bimol - Mas Gading

Terima kasih Tan Sri Speaker.

Terima kasih Yang Berhormat Menteri atas jawapan yang diberikan. Jadi, untuk soalan tambahan, Mas Gading ingin bertanya, berapa banyakkah syarikat yang gagal audit keselamatan JPJ dan apakah tindakan yang telah diambil terhadap syarikat pengendali kenderaan perdagangan?

Sekian.

draft • 10:04 AM

Tuan Yang di-Pertua

Baik. Sila, Menteri.

draft • 10:04 AM

Tuan Loke Siew Fook

Terima kasih. Tindakan-tindakan audit ini telah pun diperhebatkan sejak tahun lalu. Untuk makluman, daripada 2019 hingga 2025, setakat bulan Ogos, 11 lesen pengendali telah dibatalkan, manakala 12 permit kenderaan telah pun dibatalkan. Dan tindakan yang biasa kita lakukan apabila mereka gagal dalam audit JISA ialah digantung lesen pengendali selama satu tempoh. Setakat ini, 562 lesen pengendali telah pun digantung dan menjalani proses penggantungan dan 56 permit kenderaan juga telah digantung dan telah diberikan 24 amaran.

draft • 10:04 AM

Tuan Loke Siew Fook

Jadi, jumlah tindakan setakat ini ialah 665 dan kita akan terus perhebatkan tindakan-tindakan ini, terutamanya pada tahun ini kita telah mengadakan operasi khas untuk memantau dan juga untuk mengaudit secara rambang dan secara terkejut ataupun kita spot check, mengadakan audit JISA ini supaya mereka ini sentiasa mematuhi peraturan yang telah ditetapkan. Terima kasih.

draft • 10:10 AM

Tuan Yang di-Pertua

Baik, saya jemput Jerantut.

draft • 10:10 AM

Tuan Ir. Ts. Haji Khairil Nizam bin Khirudin - Jerantut

Bismillah, terima kasih kepada Tan Sri Yang di-Pertua, terima kasih kepada Yang Berhormat Menteri.

Pertamanya, tahniah kerana melaksanakan inisiatif ataupun strategi JISA ini, amat dialu-alukan. Cuma, melalui pautan berita daripada BERNAMA TV, selepas sebulan iaitu dari 23 Jun sehingga 31 Julai 2025, operasi khas JISA, didapati lebih 60 peratus daripada 500 syarikat kenderaan komersial yang diaudit gagal mematuhi syarat keselamatan, di mana majoritinya tidak memasang sistem GPS di kenderaan berat walaupun ia nya diwajibkan oleh APAD.

Jadi, soalan saya ialah dengan kadar ketidakpatuhan 60 peratus ini, apakah kementerian mengakui bahawa mekanisme pemantauan ini gagal dikuatkuasakan dengan berkesan? Apakah tindakan segera bagi memastikan syarat keselamatan tidak hanya di atas kertas?

Yang keduanya, pihak Menteri, apakah kegagalan ini menunjukkan bahawa industri pengangkutan komersial kini berdepan dengan masalah kos pematuhan yang tinggi? Jadi, apakah bentuk bantuan dan juga insentif yang boleh ditawarkan oleh kerajaan untuk memastikan keselamatan tanpa membebankan penguasa- penguasa kecil?

draft • 10:10 AM

Tuan Yang di-Pertua

Baik, Menteri.

draft • 10:10 AM

Tuan Loke Siew Fook

Terima kasih kepada Ahli Yang Berhormat. Seperti yang dikatakan tadi lagi, tahap pematuhan di kalangan syarikat-syarikat pengendali terhadap audit JISA ini agak rendah. Ini mungkin dikeranakan mereka merasakan bahawa kalau dulu tindakan penguatkuasaan itu kurang serius. Dari tahun 2019 hingga tahun 2022, memang audit ini agak jarang diadakan. Sepanjang tempoh COVID ini memang tak ada pun dijalankan. Kita hanya memulakan sejak tahun 2023 lebih agresif dan tahun lalu memang JPJ telah lebih agresif untuk melaksanakan penguatkuasaan. Tahun ini sudah memang, sudah tentu agak banyak diadakan.

Jadi, saya rasa mesej yang kuat telah pun dihantar oleh Kementerian Pengangkutan khususnya oleh JPJ kepada syarikat-syarikat pengendali ini dan tindakan yang dikenakan itu agak keras kepada mereka iaitu penggantungan keseluruhan lesen pengendali mereka untuk satu tempoh kalau mereka tidak mematuhi JISA. Jadi, mesej ini telah dihantar dan saya yakin sekarang ini pematuhan yang lebih baik terhadap audit JISA.

Cuma, saya nak membetulkan Yang Berhormat. Yang Berhormat selalu mengatakan bahawa kos lebih tinggi. Sebenarnya untuk pematuhan JISA ini, kosnya tidak tinggi. Ia hanya satu kos yang agak nominal sahaja untuk GPS umpamanya.

GPS sekarang ini ada syarikat-syarikat yang mengendalikan ataupun menawarkan perkhidmatan GPS ini secara langganan. Jadi, satu kenderaan mungkin dalam RM50, RM60 sebulan, satu hari RM1, RM2 sahaja.

Jadi, GPS ini sangat penting sebab GPS ini akan memantau pergerakan kenderaan itu sama ada mereka mematuhi had kelajuan yang dibenarkan dan adakah mereka membawa kenderaan lebih daripada sepatutnya di kawasan- kawasan yang tidak patut mereka masuk dan sebagainya. Jadi, pemantauan melalui GPS ini sangat penting. Jadi, cabaran kita sekarang ini ialah bagaimana mengintegrasikan GPS dalam kenderaan dengan sistem dalam JPJ supaya pemantauan itu dapat dilakukan dengan lebih berkesan.

Sekarang ini sudah tentu apabila ada kemalangan, kita akan minta GPS mereka diserahkan kepada pihak berkuasa untuk kita kaji, sama ada mereka memandu secara melebihi had kelajuan. Tetapi, kalau ada satu sistem yang dapat mengintegrasikan GPS ini dalam sistem JPJ, maka pemantauan itu boleh dilakukan sepanjang masa. Jadi, saya harap ini dapat diuar-uarkan kepada pihak orang ramai supaya kesedaran terhadap aspek keselamatan ini mesti dilaksanakan.

Jadi, saya nak mengharapkan Ahli-ahli Yang Berhormat supaya jangan memberikan alasan kepada pihak syarikat pengendali soal kos tambahan dan sebagainya. Memang ada sedikit kos tambahan. Tetapi, ini adalah aspek keselamatan yang perlu kita laksanakan dan ini bukannya syarat baru. Syarat yang telah pun dikenakan semasa lesen pengendali dikeluarkan. Jadi, tidak bolehlah mereka mengatakan bahawa sekarang ini kerana ada kos tambahan, maka mereka tak laksanakan. Mereka sudah tahu bahawa ini adalah syarat semasa lesen pengendali dikeluarkan. Terima kasih.

draft • 10:10 AM

Tuan Yang di-Pertua

Baik, terima kasih. Seterusnya saya jemput Dato’ Suhaimi bin Abdullah, Langkawi.

draft • 10:10 AM

Dato’ Haji Mohd Suhaimi bin Haji Abdullah - Langkawi

Terima kasih Tan Sri Yang di-Pertua.

Tak cukup satu tambah dua, Soalan saya nombor dua.

draft • 10:10 AM

2. Dato’ Haji Mohd Suhaimi bin Haji Abdullah [Langkawi] minta Menteri Kerja Raya menyatakan apakah dasar kementerian dalam memastikan penglibatan kontraktor tempatan khususnya dari Langkawi, dalam projek-projek pembinaan dan penyelenggaraan yang dilaksanakan oleh kementerian termasuk usaha memperkasa kontraktor G1-G3.

draft • 10:10 AM

Tuan Yang di-Pertua

Sila Menteri.

draft • 10:10 AM

Timbalan Menteri Kerja Raya - Datuk Seri Haji Ahmad bin Haji Maslan

Ha, Bertemu rakan untuk bersua, Rakan sejati bawa harapan; Pada soalan nombor dua, YB Langkawi dengarkan jawapan. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Kementerian Kerja Raya melalui Dasar Pembinaan Negara 2030 sentiasa memastikan ekosistem industri pembinaan negara terus berkembang secara inklusif dengan memberi tumpuan kepada penglibatan kontraktor tempatan termasuk kontraktor kecil gred G1 hingga G4. Bagi memastikan hasrat ini tercapai, penglibatan kontraktor tempatan dalam kontrak pembinaan dan penyelenggaraan dilaksanakan berpandukan kepada Pekeliling Perbendaharaan 2.21, Kaedah Pelaksanaan Perolehan/Projek Kerajaan Tahun 2025 yang terpakai di semua tempat, termasuklah di Langkawi.

Sebagai contoh, Kementerian Kerja Raya telah melaksanakan program mempercepatkan penyenggaraan jalan dengan memanfaatkan kontraktor G1 hingga G4. Program ini bertujuan untuk melantik kontraktor secara cabutan undi bagi melaksanakan kerja-kerja penyenggaraan di seluruh negara melalui syarikat konsesi. Ini termasuklah pelaksanaan cabutan undi bagi kontraktor kecil G1, G4 di Langkawi.

Saya ingin memaklumkan bahawa jumlah projek di Langkawi untuk semua kelas kontraktor daripada Januari 2025 hingga Oktober 2025, terdapat 76 projek swasta dan juga kerajaan. Daripada 76 projek itu, G3 ada 11 projek, G4 tiga, G5 ada lima, G6 ada dua, G7 ada 15. Yang saya sebutkan ini semuanya diperoleh oleh kontraktor daripada Langkawi. Daripada 76 projek, 36 projek diperolehi oleh kontraktor Langkawi atau 47.4 peratus hampir separuh daripada projek yang ada diperolehi oleh kontraktor Langkawi.

Saya juga ingin memaklumkan, G1 di Langkawi ada 481 lesen, G2 116, G3 35, G4 tiga, G5 lima, G7 cuma ada tiga, sedangkan banyak projek juga adalah melibatkan G7. Jumlah keseluruhan kontraktor di Langkawi adalah 643, sedangkan kerja yang ada 76. Tan Sri Yang di-Pertua Speaker, lesen lebih banyak daripada kerja, itu berlaku di mana-mana. Terima kasih.

draft • 10:10 AM

Tuan Yang di-Pertua

Baik, saya jemput Langkawi.

draft • 10:10 AM

Dato’ Haji Mohd Suhaimi bin Haji Abdullah - Langkawi

Terima kasih Tan Sri Yang di-Pertua. Saya nak membaca soalan yang diberikan oleh Persatuan Kontraktor Bumiputera Langkawi. Untuk pengetahuan Yang Berhormat Menteri, banyak projek-projek dari ICU dimonopoli oleh orang politik dan kontraktor lain menjadi mangsa komisen.

Apakah cara atau mekanisme untuk membanteras budaya kronisme yang tidak sihat ini serta memohon semua agensi kerajaan di Langkawi melaksanakan kerja secara pengundian termasuk majlis dan sebagainya? Soalan kedua daripada mereka Yang Berhormat, mohon menaikkan tahap harga maksimum G1 dari RM200,000 kepada RM350,000 kerana kos pembinaan sudah meningkat naik.

Terima kasih Tan Sri Yang di-Pertua.

draft • 10:10 AM

Tuan Yang di-Pertua

Baik, terima kasih Langkawi. Walaupun Langkawi membaca, tapi kira soalan-soalan Langkawi lah tu, ya. Silakan, Menteri.

draft • 10:10 AM

Dato’ Mohd Isam bin Mohd Isa - Tampin

[Bangun]

draft • 10:10 AM

Tuan Haji Onn bin Abu Bakar - Batu Pahat

[Bangun]

draft • 10:10 AM

Tuan Haji Manndzri bin Haji Nasib - Tenggara

[Bangun]

draft • 10:10 AM

Datuk Seri Haji Ahmad bin Haji Maslan

Ya, setakat ini, Tan Sri Yang di- Pertua Speaker, had untuk satu-satu lesen kontraktor itu begini, G1 tidak lebih RM200,000 kontrak, G2 tidak lebih RM500,000, G3 tidak lebih RM1 juta, G4 tidak lebih RM3 juta, G5 tidak lebih RM5 juta, G6 tidak lebih RM10 juta dan G7 tiada had.

Itu had yang ada, kalau kita nak menaikkan syiling itu, itu satu perkara yang perlu diteliti.

Perolehan kerajaan ini, dia memerlukan beberapa prinsip. Kroni, ahli politik dan sebagainya itu, itu tuduhanlah, tetapi prinsip perolehan kerajaan, pertama akauntabiliti awam, yang kedua ketelusan, yang ketiga faedah terbaik untuk kerajaan dengan harga dan kontraktor yang berprestasi, persaingan terbuka, adil dan saksama.

draft • 10:10 AM

Datuk Seri Haji Ahmad bin Haji Maslan

Dan kita juga telah menaikkan tahap mengundi ini. Dulu 50,000 ke bawah mengundi, sekarang ini kita dah naikkan daripada 50,000 kepada 100,000.

Kemudian baru-baru ini hingga hujung tahun, kerja-kerja 200,000 dan ke bawah boleh diundi. Terima kasih.

draft • 10:20 AM

Tuan Yang di-Pertua

Baik, saya jemput Tenggara.

draft • 10:20 AM

Tuan Haji Manndzri bin Haji Nasib - Tenggara

Terima kasih Tan Sri Speaker. Niat hati mohon peruntukan dari JKR buat Tenggara, terima kasih. Soalan tambahan jawapan tuntas dipinta jua.

Soalan Tenggara, berapakah jumlah kontraktor di seluruh negara mengikut kelas yang disebutkan tadi itu dan apakah langkah-langkah yang dilaksanakan oleh KKR bagi membantu meningkatkan keupayaan kontraktor Kelas G1 hingga G4 yang dianggap sebagai kontraktor kecil. Terima kasih.

draft • 10:20 AM

Tuan Yang di-Pertua

Baik. Menteri.

draft • 10:20 AM

Datuk Seri Haji Ahmad bin Haji Maslan

Bunga selasih dalam jambangan, Cantik tanaman dipenuhi flora; Terima kasih soalan tambahan, Ini jawapan YB Tenggara. Begitu ya. Soalan ya.

[Ketawa] Apakah langkah-langkah untuk pihak kerajaan melakukan membantu kontraktor Kelas G1 hingga G4 ini? Antara langkahnya, tadi saya dah sekali imbas menyebut tentang penyenggaraan jalan. MOF, Kementerian Kewangan dalam 3 tahun berturutan memberi RM300 juta 2023, 2024 RM400 juta, tahun ini RM450 juta yang boleh diguna secara undi dan kita telah laksanakan pengundian ini kepada kontraktor G1, G4.

Lepas itu, kita juga ada program pemerkasaan kontraktor ACE 300 kontraktor dapat manfaat. Kemudian, kita juga ada program skil teknopreneur, laluan TVET untuk G1 dan G3 hanya boleh ada sijil taraf bumi. Di luar negeri, mereka pun di luar negeri mereka mendaftar itu juga boleh melaksanakan.

Saya ingin maklumkan ada 139,662 kontraktor seluruh Malaysia dan kontraktor yang teramai ialah G1 - 68,827, G2 - 23,755, G3 - 20,414, G4 - 6,040, G5 - 7,535, G6 - 1,974, G7 - 11,117. Jumlah keseluruhan 139,662. Ramai kontraktor ini, kita tidak berhasrat untuk membekukan pendaftaran kontraktor Tan Sri Speaker, kerana apa tidak adil kepada kontraktor baru, orang-orang baru pelajar TVET yang kita suruh mereka melaksanakan program-program pembinaan tetapi kita tak bagi lesen. Itu sebab kita tidak berhasrat untuk membekukan lesen terutama G1 tidak dibeku. Terima kasih.

draft • 10:20 AM

Tuan Yang di-Pertua

Baik, seterusnya saya jemput Dato’ Sri Doris Sophia

draft • 10:20 AM

anak Brodie, Sri Aman. Dato’ Sri Doris Sophia anak Brodie - Sri Aman

Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Soalan saya nombor 3.

draft • 10:20 AM

3. Dato' Sri Doris Sophia anak Brodi [Sri Aman] minta Menteri Dalam Negeri menyatakan apakah faktor kelemahan penguatkuasaan sehingga Malaysia kini dilihat menjadi destinasi pilihan sindiket scammer antarabangsa termasuk kes terbaru melibatkan lebih 400 orang yang ditahan di Bangsar South.

draft • 10:20 AM

Tuan Yang di-Pertua

Silakan Menteri.

draft • 10:20 AM

Timbalan Menteri Dalam Negeri - Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar bin Haji Nasarah

Terima kasih Dato’ Yang di-Pertua. Terima kasih Yang Berhormat. KDN melalui Polis Diraja Malaysia sangat memandang serius jenayah penipuan dalam talian yang berdepan dengan pelbagai cabaran, termasuk sindiket yang mempunyai jaringan aplikasi global. Pelbagai inisiatif dan usaha telah digembleng oleh kerajaan dan agensi penguat kuasa.

Namun, masih terdapat cabaran yang menjejaskan keberkesanan tindakan terhadap sindiket jenayah penipuan kewangan ini. Antara isu utama yang dikenal pasti termasuklah kelemahan dari sudut perundangan, kekurangan kepakaran serta cabaran koordinasi dan kerjasama rentas sempadan.

Salah satu isu paling kritikal ialah ketidaksepadanan antara undang-undang sedia ada dengan realiti semasa jenayah siber. Banyak peruntukan undang-undang dianggap tidak cukup tegas atau sudah lapuk, terutama apabila berdepan dengan taktik penipuan yang semakin canggih. Lebih membimbangkan, tiada satu akta menyeluruh yang khusus menangani jenayah siber rentas sempadan, menyebabkan banyak kes gagal untuk dibicarakan atau ditangani secara tuntas.

Di samping itu, hukuman yang dijatuhkan kadangkala terlalu ringan, tidak memberi impak pencegahan yang efektif kepada pelaku mahupun sindiket lain.

Kedua, keterbatasan dari segi kepakaran taktikal dan teknikal dan sumber manusia dalam kalangan pasukan forensik digital dan penguatkuasaan kuasa siber turut menjadi penghalang besar.

Ramai anggota penguat kuasa masih belum cukup mahir dalam menangani teknologi baru yang diguna oleh scammer seperti VPN, spoofing dan platform komunikasi yang dienkripsi. Selain itu, infrastruktur pemantauan dan keselamatan siber negara masih belum setanding dengan negara maju menjadikan pengesanan dan tindak balas terhadap ancaman digital agak perlahan dan tidak menyeluruh.

Tuan Yang di-Pertua, bagi mengekang jenayah yang semakin berleluasa ini, kerajaan telah mengambil beberapa langkah berikut. Antaranya, pindaan undang- undang bagi menangani kes jenayah siber.

Kerajaan telah membuat pindaan ke atas Kanun Keseksaan Akta 574 bagi menangani kes jenayah siber, khususnya penipuan kewangan melibatkan penggunaan akaun keldai yang membabitkan peruntukan tambahan iaitu seksyen 424A, 424B, 424C dan 424D berkenaan kesalahan memiliki, mengawal dan menggunakan kad ATM, kad kredit dan sebarang instrumen pembayaran.

Di samping itu, pindaan Kanun Tatacara Jenayah Akta 593 membabitkan penambahan peruntukan seksyen 116D yang memberi kuasa kepada pegawai polis untuk menyita dan membekukan akaun bagi menyekat urusan transaksi kewangan.

Selain itu, kerajaan juga sedang menggubal rang undang-undang berkaitan jenayah siber sebagai sebahagian usaha membanteras jenayah siber negara ini.

Untuk maklumat Dewan, mulai 26 Jun 2025, Pusat Respons Penipuan Kebangsaan atau National Scam Response Center telah diletakkan di bawah kawal selia KDN dan diterajui oleh PDRM. NSRC diperuntukkan fungsi sebagai one stop center yang beroperasi 24 jam sejak Julai 2025 dan memberi perkhidmatan end-to- end bagi menangani jenayah penipuan dalam talian.

NSRC juga akan diperkasa dengan penambahan perjawatan yang sedang diperhalusi oleh JPA dan one stop center baharu yang akan beroperasi di Menara 2 MCMC Cyberjaya. Melihat kepada peningkatan kes jenayah penipuan dalam talian, NSRC telah menjadi barisan hadapan dalam memberi impak tindak balas untuk menyelamat duit mangsa.

NSRC ditubuhkan dengan kerjasama bersepadu pelbagai agensi menggabungkan kepakaran PDRM, Bank Negara Malaysia, Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional, Suruhanjaya Komunikasi Multimedia serta institusi kewangan dan industri telekomunikasi. Terima kasih Tan Sri.

draft • 10:20 AM

Tuan Yang di-Pertua

Baik, saya jemput Sri Aman.

draft • 10:20 AM

Dato’ Sri Doris Sophia anak Brodie - Sri Aman

Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, terima kasih kepada pihak Menteri atas jawapan yang saya rasa agak memuaskan. Cumanya saya melihat, kalau kita melihat kegiatan ataupun taktik scammer antarabangsa kini semakin licik dan semakin berani.

Jadi, dan ini melibatkan ramai warga asing. Jadi, soalan saya, selain dari langkah-langkah yang telah dikongsikan oleh Menteri tadi, adakah langkah-langkah baharu ini dijangka lebih tegas dan yang diambil oleh KDN ini, adakah ia nya ada kerjasama dengan PDRM dan Jabatan Imigresen bagi memperkukuhkan kawalan terhadap kemasukan serta aktiviti warga asing yang disyaki menyertai sindiket ini?

Sekian, terima kasih.

draft • 10:20 AM

Tuan Yang di-Pertua

Baik. Sila Menteri.

draft • 10:20 AM

Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar bin Haji Nasarah

Tan Sri di-Pertua, memang kita menyedari perubahan sentiasa berlaku terhadap jenayah ini dan tentunya KDN sendiri sentiasa meningkatkan keupayaan untuk menangani perubahan-perubahan yang berlaku.

Bagi meningkatkan keupayaan ini, ancaman siber, di KDN melalui PDRM kita tubuh unit-unit khas, diwujudkan di bawah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial PDRM. Antaranya Unit Siasatan Forensik Digital yang pakar menganalisis peranti- peranti digital yang terlibat dalam jenayah siber.

draft • 10:20 AM

Tuan Nurul Amin bin Hamid - Padang Terap

[Bangun]

draft • 10:20 AM

Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar bin Haji Nasarah

Kita juga tubuh unit Police Cyber Investigation Response Center yang memantau sosial media dan kes-kes 3R.

Kita tubuh juga unit National Scam Response Center yang mengurus siasatan kes- kes penipuan dan Unit Taktikal Siber.

Mengambil kira isu ini yang melibatkan isu-isu antarabangsa juga perkara- perkara lain, memang kerjasama sentiasa dibuat dengan semua agensi yang ada dalam negara ini. Malah KDN turut menjalinkan kerjasama dengan pelbagai negara bagi pastikan jenayah ini benar-benar dapat ditangani dengan baik walaupun cabaran yang berada di hadapan kita sangat luar biasa. Terima kasih.

draft • 10:20 AM

Tuan Yang di-Pertua

Baik. Saya jemput Padang Terap

draft • 10:30 AM

Tuan Nurul Amin bin Hamid - Padang Terap

Baik terima kasih Tan Sri Speaker. Yang Berhormat Menteri, soalan saya ialah adakah pihak kementerian berhasrat untuk memperkenalkan satu sistem liabiliti bersama (co-liability) terhadap pemilik ataupun pengurus ataupun badan pengurusan bangunan komersial yang membenarkan ruang premis disalah guna sebagai pusat scammer. Dan adakah pihak kementerian bercadang untuk mewajibkan pelaksanaan NS di due diligence terhadap penyewa berisiko tinggi bagi mengekang aktiviti scammer ini? Terima kasih..

draft • 10:30 AM

Tuan Yang di-Pertua

Silakan Menteri

draft • 10:30 AM

Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar bin Haji Nasarah

Tan Sri Yang di-Pertua, saya sebut tadi bahawa kita sedar perubahan-perubahan banyak berlaku dan dari sebab itu banyak langkah yang kita lakukan terutama sekali dari segi pindaan undang-undang dan juga meningkatkan keupayaan dari segi kakitangan. Pandangan Yang Berhormat kita ambil kira dan kita akan buat penelitian untuk kajian-kajian bagi menambah baik apa yang kita lakukan.

Cuma saya nak kongsi di sini Yang Berhormat, langkah-langkah yang kita buat ini sebenarnya juga tidak terhad dalam negara. Kalau kita lihat pada tahun 2022, sebanyak lima kerjasama yang melibatkan Singapura, Australia, Taiwan, dan melibatkan penangkapan lebih daripada 30 orang mangsa melalui kes love scam dan penipuan tawaran kerja. Kalau tahun 2023, sebanyak tiga kerjasama yang melibatkan Singapura dan Taiwan, juga kes sama dan tangkapan seramai 21 orang. Pada tahun 2024, 10 orang ditangkap yang melibatkan kerjasama dengan agensi penguat kuasa Taiwan, Singapura melibatkan kes penipuan pelaburan.

Kini pada tahun 2025, PDRM telah melaksanakan empat operasi bersepadu dengan Singapura, Indonesia, China dengan jumlah tangkapan 45 orang. Ini menunjukkan bahawa jenayah ini tidak terhad dalam negara, melibatkan luar negara.

Sebab itu perkara dibangkitkan oleh Yang Berhormat tadi kita ambil pandangan dan perhatian. Terima kasih.

draft • 10:30 AM

Tuan Yang di-Pertua

Baik, seterusnya saya jemput Kapten Dato' Dr.

Zulkafperi bin Hanapi, Tanjong Karang.

draft • 10:30 AM

Kapten Dato' Dr. Zulkafperi bin Hanapi (B) - Tanjong Karang

Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.

Dari Tanjong Karang ke Kuala Sedili, Bagi memukat si ikan tenggiri; Nombor empat soalan diberi, Mohon Yang Berhormat Menteri memberi jawapan. Terima kasih.

draft • 10:30 AM

4. Kapten Dato' Dr. Zulkafperi bin Hanapi (B) [Tanjong Karang] minta Menteri Kesihatan menyatakan vape kini menjadi satu masalah dan ancaman serius kepada kesihatan rakyat termasuk anak-anak muda dan pelajar sekolah. Kita juga maklum bahawa nikotin adalah bahan utama dalam vape yang menyebabkan ketagihan dan dependency. Adakah kementerian bersedia untuk memasukkan semula nikotin ke dalam senarai bahan Racun Negara.

draft • 10:30 AM

Tuan Yang di-Pertua

Silakan Menteri.

draft • 10:30 AM

Timbalan Menteri Kesihatan - Dato Lukanisman bin Awang Sauni

Terima kasih Tan Sri Speaker. Saya memohon untuk menjawab soalan ini secara bersekali dengan soalan Yang Berhormat Sibu bertarikh 30 Oktober 2025, Yang Berhormat Hulu Selangor bertarikh 11 November, Yang Berhormat Bandar Kuching bertarikh 20 November kerana soalan-soalan ini adalah berkaitan dengan perkara sama iaitu langkah penguatkuasaan terhadap rokok elektronik atau vape. Nikotin secara dasarnya masih lagi dikawal di bawah Akta Racun 1952.

Pengecualian yang dibuat sebelum ini adalah melibatkan sediaan cecair atau gel mengandungi nikotin untuk tujuan merokok. Kini, cecair rokok elektronik dikawal di

draft • 10:30 AM

bawah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 - Akta 852

yang berkuat kuasa sepenuhnya pada 1 Oktober 2025.

Akta ini merangkumi pendaftaran, pengiklanan, penjualan, pembungkusan, pelabelan, kawalan harga dan pengilangan semua produk merokok termasuk cecair rokok elektronik atau vape. Di bawah seksyen 3 akta ini, semua produk merokok termasuk rokok elektronik atau vape mesti didaftar dengan Kementerian Kesihatan sebelum diimport, dikilang atau diedarkan. Kegagalan berbuat demikian merupakan kesalahan dan boleh dikenakan denda, penjara atau kedua-duanya sekali.

Bagi mengekang penyalahgunaan vape dalam kalangan kanak-kanak, Kementerian Kesihatan menguatkuasakan larangan pembelian dan penggunaan produk merokok oleh orang belum dewasa (OBD) melalui seksyen 13(3) dan 17, Akta 852. Penjualan dalam talian juga dilarang di bawah seksyen 10 dan boleh dikenakan hukuman jika disabitkan kesalahan.

Melalui pendekatan whole-of-nation approach, Kementerian Kesihatan melaksanakan Operasi Selamat Paru-paru (Ops Selamat PaPa) yang bermula pada 1 Ogos 2025. Penguatkuasaan akta ini dijalankan secara bersepadu bersama agensi berkaitan seperti Jabatan Kastam Diraja, Kementerian Dalam Negeri melalui Polis Diraja Malaysia, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, pihak berkuasa tempatan dan lain-lain, di mana setiap agensi memainkan peranan mengikut bidang kuasa masing-masing bagi memastikan kawalan menyeluruh terhadap pengedaran, penjualan dan pematuhan undang-undang.

Di samping itu, program pencegahan dan pendidikan seperti KOTAK, Jom Sihat, Doktor Muda dan Back to Cinema dilaksanakan untuk memberi pendedahan awal kepada kanak-kanak dan remaja tentang bahaya produk merokok, membentuk sikap positif dan mencegah mereka daripada terjebak merokok atau vape.

Kementerian Kesihatan kini sedang menuju ke arah pengharaman sepenuhnya terhadap rokok elektronik atau vape. Cadangan ini dijangka dibentangkan kepada Jemaah Menteri tahun ini bagi mendapatkan persetujuan dasar bagi pelaksanaan pengharaman penuh vape di Malaysia. Sekian, terima kasih.

draft • 10:30 AM

Tuan Yang di-Pertua

Baik. Saya jemput Tanjong Karang.

draft • 10:30 AM

Kapten Dato' Dr. Zulkafperi bin Hanapi (B) - Tanjong Karang

Terima kasih Tan Sri Yang di-Pertua dan Yang Berhormat Menteri. Mohon laluan Tanjong Karang ingin mengalu-alukan kehadiran rombongan KRT selama 38 orang daripada bahagian Sri Aman yang berada di Dewan sekarang. Terima kasih.

[Tepuk] Tuan Yang di-Pertua, apabila empat buah negeri iaitu Johor, Kelantan, Perlis dan Terengganu telah mengharamkan penjualan vape. Dan beberapa negeri lain seperti Kedah, Pahang, Selangor serta Pulau Pinang sedang menuju ke arah yang sama. Malah kenyataan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Daniel Syed Ahmad berhubung mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-268 pada 16 Julai 2025 mengambil maklum cadangan untuk mengharamkan sepenuhnya penjualan dan penggunaan vape atau rokok elektronik di Malaysia.

Ini menimbulkan persoalan besar daripada rakyat. Mengapa Kementerian Kesihatan Malaysia sebagai agensi utama dalam menjaga kesihatan awam masih belum mengambil langkah tegas untuk mengharamkan penggunaan vape di peringkat nasional? Tidakkah ini menampakkan KKM itu ketinggalan, tidak peduli ataupun tidak cakna berbanding kerajaan-kerajaan negeri dalam isu yang melibatkan masa depan kesihatan anak muda negara kita? Sekian, terima kasih.

draft • 10:30 AM

Tuan Yang di-Pertua

Soalan ya. Ya silakan.

draft • 10:30 AM

Dato Lukanisman bin Awang Sauni

Terima kasih Yang Berhormat atas keprihatinan berkenaan tentang isu yang berkaitan dengan vape. Sememangnya Kementerian Kesihatan bertanggungjawab dan juga mengetahui senario semasa desakan-desakan daripada ibu bapa, rakan-rakan media dan juga pemimpin- pemimpin setempat dan juga Ahli-ahli Parlimen di dalam Dewan ini. Sememangnya kita pernah berusaha untuk menggubalkan sebuah akta yang dikenali sebagai Generational Endgame ketika itu.

Walaupun demikian, Ahli-ahli di dalam Dewan mempunyai pendapat yang berbelah bagi berkenaan tentang pengharaman secara total berkenaan tentang vape ini. Maka terjadilah Akta 852 dan juga kita ingin menggunakan akta ini secara konsisten melakukan penguatkuasaan dengan lebih tegas. Bermula daripada 1 Oktober 2025, banyak tindakan-tindakan yang kita telah buat seperti display ban di kedai-kedai di mana kita menghalang dan juga mengemukakan cadangan untuk menutup tempat penjualan vape dan juga rokok.

Walaupun demikian kita menyedari kesan akibat daripada penyalahgunaan vape ini, di mana kalau kita lihat melalui Regulatory Impact Analysis ataupun RIA yang telah kita jalankan, dianggarkan sebanyak RM244.8 juta dibelanjakan untuk rawatan bagi penyakit seperti EVALI. Dan juga sekiranya berterusan sebegini, kita terpaksa berbelanja lebih daripada RM300 ke RM400 juta menjelang pada 2030.

Oleh kerana kita tidak ingin melakukan pembaziran bagi penyakit-penyakit yang diakibatkan oleh vape ini, sebab itulah saya tadi memberikan satu jawapan di mana kita akan mengemukakan satu memorandum Jemaah Menteri kepada Kabinet untuk kita mempertimbangkan pengharaman secara sepenuhnya dan untuk mendapatkan dasar untuk kita memulakan tindakan pengharaman kepada vape ini.

Dan juga saya mengharapkan agar tindakan dan juga apa yang diusahakan oleh Kementerian Kesihatan kali ini akan mendapat sokongan padu daripada Ahli-ahli Parlimen dan juga kita sedar bahawa kita perlu melindungi anak-anak kita bagi meneruskan generasi MADANI pada masa hadapan. Terima kasih Tan Sri Speaker.

draft • 10:30 AM

Tuan Yang di-Pertua

Baik. Oleh kerana tajuk ini penting, saya nak bagi dua orang lagi. Jempol, lepas itu Tasek Gelugor. Jempol dulu.

draft • 10:30 AM

Dato’ Haji Shamshulkahar bin Mohd Deli - Jempol

Terima kasih Tan Sri Yang di-Pertua. Dalam pembentangan hasil kajian pada mesyuarat tahunan Persatuan Radiologi Amerika Utara di Chicago pada tahun lalu, penyelidik Dr. Marion Nebot telah menerangkan bahawa penggunaan vape boleh mengundang implikasi buruk kepada kesihatan paru-paru seseorang pengguna, biarpun vape itu tidak mengandungi sebarang nikotin.

draft • 10:30 AM

Dato’ Haji Shamshulkahar bin Mohd Deli - Jempol

Soalan tambahan saya, adakah kementerian telah melaksanakan penyelidikan klinikal di peringkat domestik untuk mengklasifikasikan tahap risiko kepada masalah paru-paru yang boleh dihadapi oleh individu pengguna vape mengikut kategori dan peringkat umur, khususnya kanak-kanak dan individu yang mempunyai sejarah kesihatan yang membimbangkan dan apakah bentuk dukungan bersepadu yang dipergiatkan bersama Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pendidikan Tinggi untuk mewujudkan kesedaran secara holistik tentang bahaya penggunaan vape kepada masa depan dan kesihatan pelajar? Terima kasih.

draft • 10:40 AM

Tuan Yang di-Pertua

Sila Menteri.

draft • 10:40 AM

Dato Lukanisman bin Awang Sauni

Terima kasih Yang Berhormat.

Sememangnya, kita mempunyai data yang terkini berkenaan tentang laporan penyakit yang dikaitkan dengan penggunaan produk merokok, termasuk rokok elektronik ataupun vape dan juga daripada jumlah tersebut, 46 kes adalah merupakan kes EVALI atau dikenali sebagai E-cigarette or vaping product use- associated lung injury yang melibatkan komplikasi serius yang memberikan kesan kepada paru-paru. Manakala 45 kes adalah non-EVALI bagi melibatkan komplikasi kesihatan lain yang juga diakibatkan oleh vape.

Kita tidak mempunyai satu data yang terperinci buat ketika ini kerana penyakit-penyakit yang berkait dengan vape ini masih lagi di dalam kajian. Sebab itulah sebelum kita terdedah lagi dengan kes-kes yang lebih tinggi, adalah baik untuk kita menjurus kepada pengharaman vape sepenuhnya seperti negara-negara ASEAN yang lain seperti Brunei, Singapura dan juga Laos adalah merupakan negara-negara ASEAN yang telah pun mengharamkan vape.

Terdapat 37 negara ketika ini telah pun mengambil keputusan mengharamkan vape dan juga ini adalah memberikan kesan yang baik kerana kita— daripada kita berperang dengan rokok dan juga vape, lebih baik kita menghapuskan ataupun mengharamkan salah satu mudarat yang ada ketika ini. Terima kasih.

Dan juga Tan Sri Speaker, untuk menambah berkenaan tentang apakah langkah-langkah yang kita lakukan. Kita mempunyai program-program seperti iaitu Program Kesihatan Oral Tanpa Amalan Merokok (KOTAK ) dan juga Jom Sihat Doktor Muda adalah merupakan program-program yang kita laksanakan bersama KPM, memberikan pendedahan bahayanya rokok kepada kanak-kanak dan juga remaja. Terima kasih.

draft • 10:40 AM

Tuan Yang di-Pertua

Baik, Tasek Gelugor.

draft • 10:40 AM

Datuk Wan Saifulruddin bin Wan Jan - Tasek Gelugor

Terima kasih Tan Sri dan terima kasih juga Tan Sri kerana mengiktiraf bahawa ini satu isu yang penting buat negara kita. Tan Sri, saya mendengar tadi bahawa pihak kementerian sedang menuju ke arah pengharaman sepenuhnya vape. Saya rasa yang kita minta sekarang ialah supaya diadakan kawalan sekarang dan segera, sementara kita menuju ke arah itu.

Jadi, saya nak minta penjelasan daripada pihak kementerian, Tan Sri. Adakah pihak kementerian boleh memberi jaminan bahawa dalam pengumuman belanjawan yang akan datang, akan diumumkan bahawa kadar cukai kepada kandungan nikotin dalam vape ini akan disamaratakan dengan kandungan cukai yang dikenakan kepada rokok? Kerana sekarang ini kalau dibandingkan dari segi kandungan nikotin per mililiter, satu kotak rokok lebih kurang dua mililiter tapi satu mililiter nikotin ini cukainya hanyalah empat puluh sen, lebih kurang sepuluh peratus daripada cukai rokok. Ini menyebabkan ada satu gap yang besar.

Jadi, orang pergi kepada vape. Di samping itu, tidak ada harga apa— harga siling, eh sorry. Harga lantai sepertimana yang dikenakan kepada rokok. Jadi, bolehkah pihak kementerian pastikan dalam belanjawan ini, paling tidak tindakan segera diambil untuk menetapkan cukai yang sama rata dan ada juga kawalan harga yang sewajarnya.

draft • 10:40 AM

Tuan Yang di-Pertua

Sila Menteri.

draft • 10:40 AM

Dato Lukanisman bin Awang Sauni

Terima kasih Yang Berhormat Tasek Gelugor, satu pandangan yang kita akan ambil untuk dicadangkan kepada pihak MOF. Sekiranya saya diberikan kebenaran untuk berkongsi maklumat berkenaan tentang ringkasan penyelarasan cukai produk merokok. Bagi satu batang rokok bersamaan dengan 10 puff ataupun asap yang keluar. Satu kotak rokok bersamaan dengan 200 puff per kotak.

Bagi cecair pula, 1 mililiter cecair vape adalah bersamaan dengan 100 puff ataupun 2 mililiter cecair vape bersamaan 200. Dan juga kadar cukai yang dicadangkan kepada cukai cecair vape daripada 40 sen kepada RM4 kepada per mililiter. Itu adalah merupakan cadangan daripada pihak Kementerian Kesihatan agar dapat diterima oleh pihak MOF.

Walaupun demikian, apa yang kami lakukan ketika ini adalah pada 1 Oktober 2024, penguatkuasaan sepenuhnya telah dikuatkuasakan. Kami daripada pihak Kementerian Kesihatan akan mempergiatkan langkah-langkah penguatkuasaan yang terbaik bagi memastikan larangan merokok dan juga vape ini dapat dilakukan sebaik mungkin.

Walaupun demikian, kita memerlukan sokongan dan kerjasama daripada masyarakat dan juga netizen di luar sana untuk membantu dan juga jangan takut untuk menegur perokok-perokok yang merokok di kawasan larangan. Itu adalah merupakan langkah yang perlu kita budayakan di kalangan masyarakat Malaysia kerana kita mempunyai undang-undang yang telah kita gubal iaitu Akta 852. Terima kasih Tan Sri Speaker.

draft • 10:40 AM

Tuan Yang di-Pertua

Baik. Seterusnya, saya jemput Dato Dr. Richard Rapu anak Begri, Betong.

draft • 10:40 AM

Dato Dr. Richard Rapu @ Aman anak Begri - Betong

Terima kasih Tan Sri Yang di-Pertua. Soalan Betong nombor 5.

draft • 10:40 AM

5. Dato Dr. Richard Rapu @ Aman anak Begri [Betong] minta Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menyatakan perancangan jangka panjang kementerian bagi memastikan kebun getah matang tidak bertoreh di Sarawak dapat diaktifkan semula melalui Program Getah Terbiar (PGT) 2025 dan seterusnya, termasuk sasaran produktiviti lima hingga sepuluh tahun akan datang, strategi sokongan harga dan pasaran getah.

draft • 10:40 AM

Tuan Yang di-Pertua

Silakan Menteri.

draft • 10:40 AM

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah - Datuk Hajah Rubiah binti Wang

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih Tan Sri Yang di-Pertua, terima kasih YB Betong atas soalan.

Tan Sri Yang di-Pertua, kementerian melalui RISDA telah memastikan kebun getah matang yang tidak bertoreh di Sarawak dikenal pasti secara menyeluruh berdasarkan Laporan Banci RISDA 2023. Laporan ini merekodkan seluas 94,800 hektar yang melibatkan seramai 57,300 pekebun kecil dan sehingga September 2025, sebanyak 793 hektar kebun telah berjaya diaktifkan semula melalui Program Getah Terbiar (PGT).

Bagi tahun 2025 sahaja, kerajaan telah memperuntukkan RM38.3 juta bagi pelaksanaan PGT yang memberi manfaat kepada hampir 8,890 orang pekebun kecil di seluruh negara. Di Sarawak, khususnya di Betong, seramai 218 orang pekebun kecil telah menerima manfaat dengan nilai keseluruhan RM1.5 juta.

Dari segi perancangan jangka panjang, PGT akan terus diperkukuhkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 dengan sasaran mengaktifkan semula 3,100 hektar kebun tidak bertoreh di Sarawak, iaitu kira-kira 625 hektar setahun. Melalui usaha ini, kementerian menjangkakan pengeluaran getah dapat ditingkatkan secara mampan dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang.

Selain itu, kementerian juga sedang menyediakan pelan kertas kerja berkaitan dengan program peningkatan produktiviti getah yang bertujuan memastikan hasil getah per hektar dapat dipertingkatkan, sekali gus menambah pendapatan dan kesejahteraan pekebun kecil.

Dari segi sokongan harga dan pemasaran, RISDA sedang memperluaskan kaedah jualan berkelompok bagi mengukuhkan kuasa tawar-menawar pekebun kecil dan memastikan harga yang lebih kompetitif. Usaha ini turut diperkukuhkan melalui kerjasama rapat dengan Lembaga Industri Getah Sarawak (SARIB) bagi memastikan pemasaran getah lebih teratur dan berkesan.

Dan seiring dengan itu juga, RISDA telah memperkenalkan Program Pemasaran Getah Bergerak (PGB) dengan menyediakan lima unit kenderaan di Sarawak pada tahun 2025, manakala dua unit tambahan akan dibekalkan pada RMKe-13. Dan inisiatif ini bagi memudahkan pekebun kecil menjual secara berkelompok terus kepada pembeli, sekaligus menikmati harga yang lebih adil.

Terima kasih Tan Sri di-Pertua.

draft • 10:40 AM

Tuan Yang di-Pertua

Baik. Saya jemput Yang Berhormat Betong.

draft • 10:40 AM

Dato Dr. Richard Rapu @ Aman anak Begri - Betong

Terima kasih Tan Sri Yang di-Pertua, terima kasih Yang Berhormat Timbalan Menteri di atas jawapan yang diberikan. Di Sarawak, terdapat beberapa agensi yang terlibat dalam Program Pekebun Kecil Getah seperti KKDW, KPK, RISDA, LGM dan juga Jabatan Pertanian Sarawak. Dari segi dasar, koordinasi dan tanggungjawab agensi, maka isu pekebun kecil getah terbiar dan tidak bertoreh. Jadi, soalan saya ialah bagaimanakah penyelarasan dasar ini dilakukan antara agensi-agensi tersebut?

draft • 10:40 AM

Dato Dr. Richard Rapu @ Aman anak Begri - Betong

Apakah ada berlaku pertindihan atau jurang tanggungjawab dan keduanya, soal pendapatan pekebun kecil. Adakah subsidi atau insentif pengeluaran semula getah ini mencukupi untuk kita menarik minat pekebun kecil ini kembali aktif mengusahakan kebun getah serta menjadikan kegiatan ini berdaya maju dalam jangka masa panjang memandangkan harga getah ini rendah dan tidak menentu.

Sekian, terima kasih.

draft • 10:50 AM

Tuan Yang di-Pertua

Sila Menteri.

draft • 10:50 AM

Datuk Hajah Rubiah binti Wang

Terima kasih di atas soalan tambahan berkenaan. Untuk makluman Tan Sri Yang di-Pertua, kerjasama rapat RISDA bersama dengan agensi-agensi dan kementerian berkaitan dengan getah terus dieratkan ataupun dimuafakatkan berdasarkan polisi dasar dan pelaksanaan tanaman getah itu sendiri.

Kementerian melalui RISDA sentiasa menjalankan hubungan kerjasama yang baik dengan Jabatan Pertanian Sarawak dalam membantu dan menyalurkan bantuan kepada pekebun kecil getah Sarawak. Kebun tanam semula di bawah RISDA dan juga Jabatan Pertanian Sarawak adalah dari kumpulan sasar yang berlainan. Pejabat RISDA negeri akan menghantar senarai peserta yang menjalankan tanam semula kepada Jabatan Pertanian Sarawak sebagai makluman.

Melalui data Banci Pekebun Kecil Getah 2023, keluasan kebun getah tidak bertoreh dan terbiar di negeri Sarawak seluas 94,800 yang melibatkan 57,300 pekebun kecil. Jadi, bermula pada tahun 2024, RISDA telah melaksanakan program pemulihan kebun getah terbiar bagi memastikan kebun-kebun getah matang tak bertoreh dan terbiar mengeluarkan hasil getah. Jadi, melalui program ini, bantuan disalurkan adalah bekalan baja, R4, racun rumpai, set alat penorehan dan juga penyelenggaraan kebun yang bernilai sejumlah RM3,600 sehektar. RISDA telah melantik anak syarikat iaitu RISDA Plantation Sdn. Bhd. sebagai ejen pelaksanaan program ini.

Jadi, bagi memastikan kebun dibersihkan dan mengeluarkan hasil, RPSB akan membuat perjanjian pembahagian keuntungan kepada pemilik kebun yang terlibat. Walau bagaimanapun, perjanjian ini berdasarkan persetujuan kedua-dua pihak iaitu RPSB dan juga pemilik kebun, dan untuk makluman Yang Berhormat juga, sememangnya tanaman getah ini, kita menghadapi isu berkaitan dengan harga, namun usaha-usaha untuk kita meningkatkan pendapatan pekebun-pekebun kecil getah ini sentiasa kita laksanakan, antaranya, salah satu adalah dengan pengenalan harga insentif RM3, harga siling RM3.

Yang kedua, bantuan musim tengkujuh.

Yang ketiga, kita juga tengah membuat satu cadangan baharu kepada pihak kerajaan untuk memastikan nilai produktiviti per hektar bagi pekebun getah dapat ditingkatkan supaya hasilnya orang kata lebih banyak dan dapat juga meningkatkan pendapatan.

Namun saya tak boleh maklumkan di sini sebab masih dalam bentuk cadangan dan insya-Allah kita akan kemukakan kepada kerajaan dan kita percaya dengan insentif ataupun dengan cadangan-cadangan seperti ini, kita akan dapat meningkatkan pengeluaran getah dan juga menarik perhatian pekebun-pekebun kecil getah untuk mengusahakan tanaman-tanaman getah mereka. Terima kasih Tan Sri Yang di-Pertua.

draft • 10:50 AM

Tuan Yang di-Pertua

Baik, saya jemput Kuala Krau.

draft • 10:50 AM

Tuan Haji Kamal bin Ashaari - Kuala Krau

Terima kasih Tan Sri Speaker.

Berdasarkan kepada jumlah keseluruhan kebun getah di Sarawak, lebih 161,000 hektar mempunyai potensi besar dalam pembangunan getah negara.

Jadi persoalan saya, apakah kerajaan bercadang untuk menubuhkan satu pusat penyelidikan getah ataupun rubber research centre di Sarawak bagi menyokong pembangunan klon baru yang sesuai dengan keadaan tanah dan iklim negeri serta mewujudkan industri hiliran berdasarkan kepada harga lateks yang begitu tinggi.

Dan yang kedua, apakah usaha dalam meningkatkan hasil getah yang memanjangkan jangka hayat ekonomi pokok getah dengan menggunakan gas stimulant etalon, terutamanya di negeri Sarawak? Terima kasih.

draft • 10:50 AM

Tuan Yang di-Pertua

Sila Menteri.

draft • 10:50 AM

Datuk Hajah Rubiah binti Wang

Terima kasih Yang Berhormat atas soalan tambahan. Pertama sekali, saya ingin nak memaklumkan (LIGS) adalah Lembaga Industri Getah Sabah bukannya Sarawak dan di Sarawak ini adalah Lembaga Industri Getah Sarawak iaitu SARIB. Jadi untuk makluman Yang Berhormat, RISDA mempunyai kerjasama erat bersama dengan SARIB dalam usaha kita memastikan industri getah ini dapat dibangunkan dengan lebih mampan lagi berdasarkan orang kata tanaman semula ataupun penanaman semula dan juga memastikan kawasan- kawasan tanaman getah yang tak bertoreh, ditoreh.

Jadi, terdapat kerjasama erat di antara SARIB dengan RISDA dalam usaha kita memastikan program-program yang telah kita sasarkan dilaksanakan di Sarawak. Khususnya dari sudut kawasan-kawasan tanaman tanam semula dan juga kawasan-kawasan getah tak bertoreh, kita ada orang kata border kita atau kita ada pemakluman bersama supaya tak bertindih kata orang, tak bertindih.

Di samping itu juga, kita juga ada pusat penyelidikan getah iaitu pusat penyelidikan getah di Sarawak, klon baru, yang berkeluasan 161 hektar yang telah di bawah KPK bukannya di bawah KKDW, maksudnya di bawah kerajaan negeri.

Jadi, usaha-usaha untuk kita meningkatkan tanaman getah di negeri Sarawak ini memang kita mantapkan atas kerjasama Federal melalui RISDA dan juga melalui agensi di bawah kerajaan negeri. Terima kasih Tan Sri Yang di-Pertua.

draft • 10:50 AM

Tuan Yang di-Pertua

Baik, terima kasih Menteri. Saya jemput seterusnya Dato’ Seri Amirudin bin Shari, Gombak.

draft • 10:50 AM

Dato’ Seri Amirudin bin Shari - Gombak

Terima kasih, Tan Sri Speaker.

Soalan saya seterusnya, soalan yang ke-6. Terima kasih.

draft • 10:50 AM

6. Dato’ Seri Amirudin bin Shari [Gombak] minta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri menyatakan produktiviti terkini pekerja di Malaysia.

Apakah strategi kementerian untuk menggalakkan syarikat dan majikan untuk pelabur dalam teknologi terkini bagi meningkatkan produktiviti pekerja dan apakah kekangan yang dihadapi oleh majikan-majikan yang terus memilih kaedah tradisional yang berasaskan pekerja asing.

draft • 10:50 AM

Tuan Yang di-Pertua

Silakan Menteri.

draft • 10:50 AM

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri - Tuan Liew Chin Tong

Terima kasih Tan Sri Yang di-Pertua, terima kasih Yang Berhormat Gombak.

Untuk makluman Dewan yang mulia ini, produktiviti pekerja negara telah meningkat sebanyak 2.4 peratus pada tahun 2024 dengan nilai tambah per pekerja berjumlah RM99,265 berbanding RM96,914 pada tahun 2023. Kadar ini dikira berdasarkan nilai keluaran dalam negara kasar (GDP) yang dibahagikan dengan bilangan pekerja semasa yang berumur dalam lingkungan 15 hingga 64 tahun.

Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (New Industrial Master Plan) merupakan komitmen kerajaan untuk mentransformasikan sektor perkilangan agar menjadi lebih produktif dengan menggalakkan syarikat dan majikan melabur dalam teknologi terkini. Rancangan Malaysia Ketiga Belas yang akan dilaksanakan dalam tempoh tahun 2026 sehingga 2030 telah menetapkan pengurangan nisbah pekerja asing kepada jumlah keseluruhan tenaga kerja daripada 15 peratus kepada 10 peratus. Antara inisiatif strategik dan program utama yang sedang dilaksanakan bagi merancakkan automasi dan melonjakkan produktiviti adalah seperti berikut; Pertama, produktiviti nexus yang dilaksanakan oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) dengan kerjasama erat pemain-pemain industri memberikan tumpuan ke atas lonjakan produktiviti 14 sektor terpilih seperti elektrik dan elektronik, kimia dan farmaseutikal.

Kedua, Smart Tech Up yang merupakan kesinambungan dan penambahbaikan kepada program Industry Forward sebelum ini. Program ini menetapkan sasaran penubuhan 3,000 kilang pintar menjelang tahun 2030 yang mana ini adalah selaras dengan aspirasi NIMP 2030 untuk transformasikan sektor perkilangan ke arah ekonomi bernilai tinggi.

Ketiga, dana pelaburan strategik bersama NIMP ataupun NIMP CoSIF yang memperkenalkan model blended financing yang menggabungkan pasaran modal dengan suntikan dana kerajaan bagi membiayai projek strategik serta berimpak tinggi.

draft • 10:50 AM

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri - Tuan Liew Chin Tong

Berhubung dengan isu kekangan yang dihadapi oleh majikan-majikan yang terus memilih kaedah tradisional yang berasaskan pekerja asing secara khusus kepada sektor perkilangan yang berada dalam bidang kuasa MITI antaranya disebabkan oleh ketersediaan akses kepada buruh asing berkemahiran rendah.

Secara keseluruhan kerajaan optimis dengan hala tuju yang jelas, pengenalan pelbagai dasar ekonomi yang progresif dan komitmen untuk mengurangkan kerenah birokrasi dan kebergantungan berlebihan kepada pekerja asing berkemahiran rendah akan dapat dikurangkan. Terima kasih.

draft • 11:00 AM

Tuan Yang di-Pertua

Baik, saya jemput Gombak.

draft • 11:00 AM

Dato’ Seri Amirudin bin Shari - Gombak

Terima kasih Timbalan Menteri atas jawapan yang telah diberikan dan juga tahniah di atas peningkatan sebanyak 2.4 peratus yang disebutkan dalam jawapan Timbalan Menteri sebentar tadi. Namun begitu angka produktiviti ini masih lagi ketinggalan berbanding dengan negara seperti Korea, China dan Singapura dan adakah langkah-langkah yang disebutkan oleh Menteri tadi pada tahun berapakah kita ataupun dalam tempoh berapa lama kah kita boleh mencapai tahap tersebut?

Soalan seterusnya adalah saya menyedari tentang isu tentang peralihan teknologi seperti automasi dan sebagainya. Adakah kerajaan boleh mengambil kira bagaimana pelaksanaan di negara seperti Jerman apabila KFW sebagai contoh ataupun bank pembangunannya meletakkan matching grant kepada syarikat- syarikat untuk beralih melalui R&D ataupun dalam automasi dan kerajaan menggunakan pertambahan dan suntikan itu sebagai suntikan syer yang boleh dimiliki oleh pihak kerajaan yang sekali gus juga memberikan kitaran keuntungan dan juga hasil kepada kerajaan dengan strategi yang telah digunakan. Mungkin kah strategi itu boleh dipertimbangkan bagi pihak kementerian bagi meningkatkan produktiviti dan kemampuan syarikat-syarikat di Malaysia? Terima kasih.

draft • 11:00 AM

Tuan Yang di-Pertua

Sila, Menteri.

draft • 11:00 AM

Tuan Liew Chin Tong

Terima kasih Yang Berhormat Gombak. Memang saya setuju bahawa kenaikan produktiviti di kadar yang lebih tinggi di negara lain seperti Korea, Taiwan yang secara purata Taiwan menaik 3.3 peratus dan Korea 4.1 peratus manakala purata kita ialah 3.3 peratus dan Vietnam adalah 3.1 peratus.

Maka memang betul dan kerajaan perlu mengambil tindakan yang lebih serius untuk memastikan kita lebih kurang kebergantungan terhadap pekerja warga asing dan menambah R&D yang sedia ada. Aktiviti R&D kita memang kurang dan kita perlukan aktiviti R&D yang lebih banyak.

Soalan ataupun cadangan untuk mengambil iktibar daripada model Jerman memang saya setuju juga. Masalah sekarang ialah Development Financial Institution

(DFI) kita tidak ada matlamat ataupun objektif yang secara bersasar ia untuk menaikkan produktiviti tetapi saya rasa ini telah diambil kira oleh MOF, oleh Kementerian Kewangan dan pembaharuan ataupun reformasi DFI sedang dijalankan.

Memang cadangan Yang Berhormat bahawa kerajaan ambil syer, ambil saham daripada apa yang geran yang telah diberi kepada syarikat-syarikat untuk menaik taraf atau untuk membuat R&D memang satu cadangan yang baik. Saya difahamkan bahawa Kementerian Kewangan dan juga Khazanah telah mengambil kira cadangan ini dan ada kemungkinan akan dilaksanakan. Terima kasih.

draft • 11:00 AM

Dato' Wira Dr. Ku Abd Rahman bin Ku Ismail - Kubang Pasu

Soalan tambahan, Tan Sri Speaker.

draft • 11:00 AM

Tuan Yang di-Pertua

Ya, silakan Yang Berhormat Kubang Pasu.

draft • 11:00 AM

Dato' Wira Dr. Ku Abd Rahman bin Ku Ismail - Kubang Pasu

Ini mengenai daya pengeluaran negara. Indeks pengeluaran industri (industrial production index) bagi bulan Julai 4.2 peratus year on year tetapi menguncup 0.3 peratus bagi bulan ke bulan, month to month. Manakala pertumbuhan IPI menurun pada kadar perlahan iaitu 2.4 peratus untuk tujuh bulan pertama pada tahun ini 2025 berbanding dengan empat peratus bagi tempoh yang sama 2024.

Kenaikan IPI bagi Julai 2025 adalah disebabkan oleh sektor pembuatan yang meningkat 44 peratus. Soalan saya ialah apakah pertumbuhan IPI bagi bulan Ogos 2025 dan unjuran IPI bagi tempoh September sehingga Disember 2025 memandangkan tempoh ini adalah lebih mencabar disebabkan jumlah pengeluaran dan eksport mungkin menurun disebabkan oleh tarif 19 peratus oleh Amerika Syarikat. Seterusnya, apakah kemajuan yang telah dicapai bagi NSS (National Semiconductor Strategy) setakat ini setelah dilancarkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri pada bulan Mei 2025. Sekian, Tan Sri.

draft • 11:00 AM

Tuan Yang di-Pertua

Baik, sila Menteri.

draft • 11:00 AM

Tuan Liew Chin Tong

Terima kasih Yang Berhormat Kubang Pasu. Ada lima atau enam soalan di sana. Berkenaan dengan IPI, saya akan berikan maklumat bertulis. Berkenaan dengan NSS. Memang NSS sebahagian usaha kerajaan untuk memastikan kita bukan lagi Made in Malaysia tetapi menjurus ke Made by Malaysia.

NSS telah ada ulang tahun setahun dan sasaran kita telah capai sasaran kita dalam suasana global yang tidak memuaskan.

Seperti apa yang dikatakan tadi, suasana global pada tahun ini memang kurang memuaskan kerana tarif, kerana ketidaktentuan. Maka, dalam suasana ini saya rasa kita telah capai apa yang kita sasarkan. Terima kasih.

draft • 11:00 AM

Tuan Yang di-Pertua

Baik, seterusnya saya jemput Datuk Wira Hajah Mas Ermieyati binti Samsudin, Masjid Tanah.

draft • 11:00 AM

Datuk Wira Hajah Mas Ermieyati binti Samsudin - Masjid Tanah

Terima kasih, Tan Sri Speaker.

Sungguh kecewa hati ini, Ingatkan dapat jumpa Menteri yang kurindui, Sejak daripada semalam saya dah standby dah ni, Tak apa soalan nombor tujuh silalah Yang Berhormat Timbalan beri. Terima kasih.

draft • 11:00 AM

[Dewan riuh]

Tuan Yang di-Pertua

Menteri, tolong hiburkan hati beliau dengan jawapan yang cantik.

draft • 11:00 AM

7. Datuk Wira Hajah Mas Ermieyati binti Haji Samsudin [Masjid Tanah] minta Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya menyatakan mengapakah Malaysia masih belum berjaya menjadikan seni budaya sebagai komoditi eksport bernilai tinggi sedangkan negara memiliki kekayaan warisan yang unik serta apakah pelan tindakan menyeluruh untuk membangunkan seni budaya sebagai komponen ekonomi kreatif eksport.

draft • 11:00 AM

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya - Tuan Khairul Firdaus bin Akbar Khan

Terima kasih Tan Sri Yang di-Pertua. Saya pun sedih juga fasal dia tak berminat untuk saya menjawab pertanyaan beliau, Yang Berhormat Tanah Merah.

draft • 11:00 AM

Seorang Ahli

Masjid Tanah.

draft • 11:00 AM

Tuan Khairul Firdaus bin Akbar Khan

Eh, Masjid Tanah. Minta maaf, Masjid Tanah. Nampak tudung merah. Malaysia sememangnya kaya dengan seni budaya dan warisan yang unik serta berpotensi besar untuk dikembangkan sebagai komoditi eksport bernilai tinggi. Walaupun terdapat cabaran tertentu seperti ekosistem industri yang masih tertumpu kepada pasaran domestik, piawaian dan pensijilan produk yang perlu diperkukuh tahap digitalisasi yang masih berkembang, isu perlindungan hak cipta dan harta intelek serta persaingan daripada negara serantau, kementerian melihat cabaran ini sebagai ruang untuk memperkukuh lagi strategi pembangunan industri seni budaya negara.

Sehubungan dengan itu, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya

(MOTAC) melalui Dasar Kebudayaan (DAKEN) giat melaksanakan pelan tindakan berikut. Antaranya:

(i) memperkukuh penjenamaan produk seni budaya Malaysia dengan menggalakkan penghasilan produk makanan, seni kraf dan persembahan yang memenuhi piawaian eksport termasuk melalui pensijilan dan pengiktirafan antarabangsa;

(ii) memperkukuh pasaran dan infrastruktur dengan meluaskan akses produk budaya ke platform e-Dagang Global, di samping menambah baik penawaran dan variasi produk kebudayaan di platform sedia ada;

(iii) mengarusperdanakan digitalisasi dan inovasi melalui pembangunan portal pemetaan budaya, penggunaan teknologi terkini termasuk AI serta meningkatkan kesedaran tentang kepentingan perlindungan hak cipta;

(iv) meningkatkan diplomasi budaya melalui kerjasama erat bersama Kementerian Luar Negeri, Kedutaan Malaysia, Tourism Malaysia, UNESCO dan ASEAN bagi memperluas pengaruh serta penjenamaan seni budaya Malaysia di peringkat antarabangsa;

(v) membangunkan bakat dan modal insan dengan memperkasa penggiat seni melalui latihan, pendedahan serta penguasaan aspek pengurusan harta intelek (IP) dan strategi pemasaran antarabangsa;

(vi) menggalakkan pengantarabangsaan seni budaya melalui pengiktirafan butiran warisan kebangsaan di peringkat UNESCO, penglibatan berterusan penggiat seni dan kumpulan budaya negara di festival antarabangsa sekali gus mengangkat nama Malaysia di pentas dunia.

Pelaksanaan langkah-langkah ini yang turut seiring dengan aspirasi Dasar Industri Kreatif Negara (DIKN) diyakini akan memastikan seni budaya Malaysia terus dilestarikan, di perkasa dan dimartabatkan sebagai komponen penting dalam ekonomi kreatif negara.

draft • 11:00 AM

Tuan Khairul Firdaus bin Akbar Khan

Seterusnya berkembang sebagai komoditi eksport yang bernilai tinggi serta mampu menyumbang secara signifikan kepada ekonomi nasional. Sekian dan terima kasih.

draft • 11:10 AM

Tuan Yang di-Pertua

Baik. Masjid Tanah.

draft • 11:10 AM

Datuk Wira Hajah Mas Ermieyati binti Samsudin - Masjid Tanah

Terima kasih Yang Berhormat Timbalan Menteri di atas jawapan yang diberi, dan saya difahamkan bahawa ada satu sesi libat urus untuk dasar kebudayaan negara telah pun diadakan pada bulan lepas dan sesi itu dihadiri oleh ramai penggiat-penggiat seni dan budaya tanah air. Jadi, syabas dan tahniah diucapkan. Tetapi, saya ingin bertanya kepada Yang Berhormat Menteri.

Saya difahamkan terdapat banyak permohonan, permohonan geran sokongan sektor kebudayaan (GSSK), ini masih banyak lagi belum diluluskan dan saya difahamkan banyak lagi terdapat di pejabat Yang Berhormat Menteri. Kenapa biarkan Yang Berhormat Menteri untuk meneliti permohonan tersebut? Bukankah itu tugas KSU saja sudah memadai?

Dan apakah langkah segera yang boleh diambil oleh pihak kementerian bagi mempercepatkan proses kelulusan dan juga penyaluran geran tersebut yang mana yang akan tamat sebelum tahun kewangan 2025? Kerana ini sangat penting. Kita selalu bercerita tentang soal pelancongan tetapi sektor kebudayaan ini saya lihat bahawa ia nya seakan-akan dipinggirkan dan tidak mendapat perhatian daripada Yang Berhormat Menteri sendiri.

Terima kasih di atas perhatian Yang Berhormat Timbalan Menteri.

draft • 11:10 AM

Tuan Yang di-Pertua

Silakan Menteri.

draft • 11:10 AM

Tuan Khairul Firdaus bin Akbar Khan

Terima kasih Yang Berhormat Masjid Tanah. Untuk makluman Ahli-ahli Dewan, tema Malaysia – Visit Malaysia Year 2026 pada tahun hadapan dengan jelas telah memposisikan Malaysia destinasi lestari kaya budaya.

draft • 11:10 AM

Dato’ Haji Adnan bin Haji Abu Hassan - Kuala Pilah

[Bangun]

draft • 11:10 AM

Tuan Khairul Firdaus bin Akbar Khan

Dengan tema sebegini, ia telah menunjuk dengan jelas bahawasanya kementerian ini menitik beratkan elemen kebudayaan. Sektor kebudayaan itu pasti akan diperkasakan. Pasti kita akan memperkenalkan kepada para pelancong di luar sana tentang betapa indahnya budaya kita.

Di samping itu juga, seperti yang telah diutarakan oleh Yang Berhormat Masjid Tanah, kita baru saja selesai mengadakan sesi libat urus pada bulan lalu.

Melalui sesi libat urus itu sendiri, kita telah mengenal pasti beberapa elemen yang boleh kita masukkan juga dalam sektor pelancongan untuk kita selitkan kedua- duanya supaya ia nya dilihat sebagai satu gabungan yang mantap.

Selain daripada itu Masjid Tanah, persoalan yang diajukan yang selain itu pula, kita akan memberikan jawapan secara bertulis. Kerana jawapan nanti akan dianggap sedikit kontroversi. Saya tidak mahu Masjid Tanah dengan saya panas ya.

Terima kasih ya Masjid Tanah. Sekian dan terima kasih.

draft • 11:10 AM

Tuan Yang di-Pertua

Baik. Saya jemput Kuala Pilah.

draft • 11:10 AM

Dato’ Haji Adnan bin Haji Abu Hassan - Kuala Pilah

Terima kasih Yang Berhormat Tan Sri Speaker.

Soalan saya, adakah MOTAC bercadang menjalin kerjasama strategik dengan syarikat penstriman global seperti Netflix, Disney, ataupun Spotify untuk memasarkan filem, muzik dan kandungan budaya tempatan ke pasaran dunia? Dan seterusnya, bagaimana kementerian memastikan pelan tindakan membangunkan seni budaya sebagai komoditi eksport ini turut melibatkan penggiat seni di peringkat akar umbi seperti pengusaha batik, songket, wau, muzik dan tarian tradisional supaya mereka tidak ketinggalan dalam arus ekonomi kreatif global? Terima kasih Tan Sri.

draft • 11:10 AM

Tuan Yang di-Pertua

Silakan Menteri.

draft • 11:10 AM

Tuan Khairul Firdaus bin Akbar Khan

Terima kasih Yang Berhormat Kuala Pilah. Sememangnya beberapa perkara telah kita lakukan untuk kita memperkenalkan sektor kebudayaan kita, dan ini juga secara langsung akan memberikan kesan yang cukup baik dalam industri kreatif ekonomi ataupun creative industry. Yang paling jelas, kita tahu di bawah kementerian ini ada geran sokongan padanan kebudayaan (GSSK).

Melalui geran ini kita memberikan ruang seluas-luasnya kepada para penggiat industri untuk mengadakan dan juga melaksanakan program-program yang berkait rapat dengan sektor kebudayaan. Malahan banyak program-program yang diadakan di bawah geran ini dapat kita lihat dengan jelas pulangannya, bukan sahaja kepada pemain-pemain industri, tetapi juga kepada komuniti setempat.

Selain itu juga, di bawah kementerian kita ada satu agensi, Jabatan Warisan Negara. Jabatan Warisan Negara memperlihatkan kesungguhan untuk mereka memperkayakan dan juga mempromosikan makanan-makanan warisan kita. Di samping itu juga, dengan kerjasama yang erat di antara Jabatan Warisan Negara dengan Kraftangan Malaysia, ia dapat menjalinkan satu kerjasama dan juga pemahaman yang dinamik, bagaimana kerangka yang seharusnya dilakukan demi kita pastikan apa yang telah dibangkitkan oleh Yang Berhormat Kuala Pilah dapat dicapai. Sekian, terima kasih.

draft • 11:10 AM

Tuan Yang di-Pertua

Baik, seterusnya saya jemput Tuan Yuneswaran a/l Ramaraj, Segamat.

draft • 11:10 AM

Tuan Yuneswaran a/l Ramaraj - Segamat

Terima kasih Tan Sri Speaker.

Soalan Segamat nombor 8.

draft • 11:10 AM

8. Tuan Yuneswaran A/L Ramaraj [Segamat] minta Menteri Kesihatan menyatakan apakah keputusan kerajaan berhubung pengharaman rokok elektronik

(vape) yang kini memberi kesan buruk kepada kesihatan awam serta meningkatkan beban kos rawatan penyakit berkaitan rokok di Kementerian Kesihatan Malaysia.

draft • 11:10 AM

Tuan Yang di-Pertua

Silakan Menteri.

draft • 11:10 AM

Timbalan Menteri Kesihatan - Dato Lukanisman bin Awang Sauni

Terima kasih Yang Berhormat Segamat.

Tan Sri Yang di-Pertua, saya memohon untuk menjawab soalan ini secara bersekali dengan soalan Yang Berhormat Muar bertarikh 13 Oktober, dan juga Yang Berhormat Mas Gading bertarikh 30 Oktober kerana soalan-soalan ini adalah berkaitan dengan perkara yang sama iaitu pendirian kerajaan dalam pengharaman sepenuhnya rokok elektronik dan juga vape.

draft • 11:10 AM

Tuan Yang di-Pertua

Silakan.

draft • 11:10 AM

Dato Lukanisman bin Awang Sauni

Kementerian Kesihatan komited sepenuhnya dan sedang menuju ke arah pelaksanaan pengharaman sepenuhnya ke atas rokok elektronik atau vape. Cadangan pengharaman ini dijangka dibentang kepada Jemaah Menteri pada tahun ini bagi mendapatkan persetujuan dasar sebagai langkah awal ke arah pengharaman sepenuhnya di Malaysia.

Kementerian Kesihatan mengambil maklum cabaran yang dihadapi negara seperti risiko penyeludupan dan pasaran gelap sekiranya pengharaman dilaksanakan. Oleh itu, sebarang langkah ke arah pengharaman akan disertai strategi mitigasi pelbagai menyeluruh termasuk penguatkuasaan bersepadu melibatkan pelbagai kementerian dan agensi lain termasuk Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Kementerian Dalam Negeri melalui Polis Diraja Malaysia, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, pihak berkuasa tempatan dan lain- lain agensi selain memperkukuhkan sumber tenaga kerja.

Dari segi hasil kutipan cukai vape pada tahun 2024 berjumlah RM111 juta.

Namun, anggaran kos rawatan penyakit berkaitan vape termasuk EVALI mencecah RM223 juta pada tahun 2024 dan dijangka terus meningkat. Ini menunjukkan beban kos kesihatan jauh melebihi daripada manfaat fiskal. Pendekatan pengharaman akan dilaksanakan secara berperingkat dengan penguatkuasaan, pendidikan dan sokongan masyarakat sebagai komponen penting. Peranan NGO dan komuniti juga akan digerakkan bagi mengurangkan permintaan dan membentuk perubahan tingkah laku.

Pada masa ini, Kementerian Kesihatan memberi keutamaan kepada penguatkuasaan penuh pelaksanaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 atau Akta 852 bermula 1 Oktober 2025. Akta ini merangkumi kawalan yang ketat dan komprehensif termasuk keperluan pendaftaran produk, larangan terhadap pengiklanan, promosi dan tajaan, kawalan penjualan produk merokok serta larangan merokok di kawasan-kawasan yang telah diwartakan sebagai kawasan larangan merokok.

Namun begitu, undang-undang sahaja tidak memadai kerana perlindungan kesihatan awam memerlukan penglibatan semua pihak. Oleh itu, peranan masyarakat amat penting dalam usaha ini. Orang ramai digalakkan menyalurkan aduan berkaitan pelanggaran undang-undang produk merokok melalui WhatsApp di talian 010-8608949 atau laman web www.jomlapor.com. Pendekatan ini bukan saja memperkukuhkan penguatkuasaan, tetapi juga menggerakkan seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama mencapai sasaran negara bebas amalan merokok menjelang 2040. Sekian, terima kasih.

draft • 11:10 AM

Tuan Yang di-Pertua

Segamat.

draft • 11:10 AM

Tuan Yuneswaran a/l Ramaraj - Segamat

Terima kasih Tan Sri Speaker.

Terima kasih Yang Berhormat Timbalan Menteri. Ini kerana saya melihat usaha untuk terus menuju untuk mengharamkan vape ini di Malaysia. Bukan sahaja vape, termasuk rokok.

Saya ingin merujuk kepada laporan Prevention and Control Non- Communicable Disease 2024 yang dibentangkan oleh Kementerian Kesihatan. Di mana budaya merokok di kalangan muda berumur 13 tahun hingga 17 tahun, meningkat dari 9.8 peratus pada tahun 2017 ke 14.9 peratus pada 2027. Ini menunjukkan trend merokok ataupun vape di kalangan generasi muda semakin hari semakin meningkat.

Saya ingin bertanya kepada Yang Berhormat Menteri dan Kementerian Kesihatan. Adakah kementerian bersedia akan mengkaji semula atau untuk meminda semula generational endgame dan kembali kepada Parlimen ini untuk kita mengkaji semula untuk menyelamatkan generasi golongan yang akan lahir pada tahun 2007 ini, kita dapat selamatkan di Malaysia ini. Kerana bukan saja e-cigarette, tetapi merokok juga memberi kesan besar kepada kesihatan awam dan juga kepada ekonomi negara.

Terima kasih Yang Berhormat Menteri.

draft • 11:10 AM

Tuan Yang di-Pertua

Sila Menteri.

draft • 11:20 AM

Dato Lukanisman bin Awang Sauni

Terima kasih Yang Berhormat Segamat. Sememangnya adalah menjadi hasrat untuk kita melakukan rang undang- undang berkaitan tentang generational endgame. Walaupun demikian, kita meneruskan, moving forward dengan izin Tan Sri Speaker, dengan akta yang sedia ada, 852 yang komprehensif dan juga mempunyai pendekatan yang lebih agresif, terutama sekali di dalam bahagian penguatkuasaan.

Sebagai contoh, kita telah pun menguat kuasa sepenuhnya halangan untuk display ban terhadap produk-produk merokok di premis-premis penjualan rokok dan juga penguatkuasaan yang sangat aktif dilakukan oleh penguatkuasaan. Walaupun kita mempunyai kekurangan dari sudut peruntukan untuk menambah lagi kakitangan dan juga pembelian kamera badan bagi penguatkuasaan ini, tetapi apa yang kami guna pakai adalah melalui kaedah-kaedah strategic placement our penguatkuasaan di tempat-tempat yang strategik. Walaupun demikian, pendekatan GEG ini akan kita kaji daripada masa ke semasa.

Kita sekarang memberikan fokus kepada pengharaman vape dan juga kita mengharapkan agar pihak Kabinet dapat memberikan dasar yang jelas bagaimana untuk kita mengharamkan vape melalui kaedah-kaedah yang terbaik supaya kita dapat menghalang penggunaan vape ini yang sangat-sangat memudaratkan dan juga prevalent yang menunjukkan penggunaan vape ini adalah sangat kritikal, di mana penggunaan vape di kalangan kanak-kanak juga meningkat Tan Sri Speaker.

Dan juga, kita turut melakukan pelaburan yang banyak di mana sebagai contoh, bagi pakej kawalan tembakau saja, kita berbelanja dengan jumlah yang besar RM121.94 juta untuk bagi intervensi kesihatan awam. Sekiranya kita dapat mengharamkan vape dan juga dapat mengurangkan prevalent rokok ini, kita dapat penjimatan yang besar, yang dapat kita lakukan dalam tempoh lima tahun ke 15 tahun, di mana kalau kita melabur RM1.00, kita akan mendapat pulangan RM1.21.

Walaupun demikian juga Yang Berhormat, walaupun di luar topik vape ini juga, saya ingin menjelaskan terdapat juga cabaran-cabaran besar, bukan hanya setakat tembakau. Kita juga berdepan dengan penyakit-penyakit yang tidak berjangkit dan juga ancaman utama kita adalah ketika ini adalah berkenaan tentang garam di mana sekiranya kita dapat mengurangkan pengambilan garam, RM1.00 yang kita laburkan, kita akan mendapat pulangan lebih kurang RM4.50 dengan pengurangan garam ini.

Walaupun demikian, sekali lagi saya menegaskan kita akan menguatkuasa sepenuhnya dan juga akan mempergiatkan tindakan penguatkuasaan secara komprehensif dan juga pendekatan GEG ini akan kita buka semula sekiranya prevalent merokok itu telah mencapai tahap yang bersesuaian untuk kita haramkan sepenuhnya. Terima kasih Tan Sri Speaker.

draft • 11:20 AM

Tuan Yang di-Pertua

Baik, saya jemput Tumpat.

draft • 11:20 AM

Dato’ Hajah Mumtaz binti Md Nawi - Tumpat

Terima kasih, Tan Sri Yang di-Pertua. Soalan tambahan saya, saya sangat teruja dengan kesediaan kerajaan untuk mengharamkan vape. Walau bagaimanapun, susulan daripada jawapan Menteri Dalam Negeri baru-baru ini bahawa mengatakan Ispire-Tech di Senai yang mengeluarkan vape itu adalah untuk pasaran tempatan.

Tetapi laporan daripada CodeBlue menyatakan bahawa “Terdapat pembinaan fasa kedua milik syarikat tersebut yang dianggarkan mula beroperasi pada suku ketiga tahun ini yang mempunyai 80 barisan pengeluaran. Operasi kilang ini mengeluarkan kapasiti sebanyak 61 juta peranti ataupun 107 juta pod sebulan”.

Ia bakal dieksport keluar negara seperti yang dilaporkan oleh NST.

Adakah ini bermaksud polisi negara kita ini pada dasarnya masih menyokong e-rokok secara global kerana ini adalah untuk pasaran antarabangsa? Jadi, kita nampak satu perbezaan percanggahan di antara polisi yang disebut dengan pembinaan syarikat yang mengeluarkan vape seperti ini. Itu yang pertama.

Dan yang kedua, dalam belanjawan, kerajaan ada maklumkan bahawa duti eksais yang dikutip daripada vape ini digunakan untuk pendidikan kesihatan bagi nikotin. Soalan saya, adakah terdapat satu mekanisme jelas yang diaudit secara bebas untuk menganalisis sejauh manakah penggunaan lebih daripada 100 juta duti ini digunakan untuk tujuan tersebut? Terima kasih.

draft • 11:20 AM

Tuan Yang di-Pertua

Sila Menteri.

draft • 11:20 AM

Dato Lukanisman bin Awang Sauni

Terima kasih Yang Berhormat Tumpat.

Untuk berkenaan tentang apakah mekanisme ataupun kaedah-kaedah untuk kita melakukan audit berkenaan tentang penggunaan hasil duti eksais terhadap vape ini, kita belum lagi mempunyai kaedah yang spesifik. Walaupun demikian, kita masih baru sahaja memulakan kutipan duti eksais ini. Seperti jawapan yang saya sebutkan tadi, hasil kutipan setakat ini adalah berjumlah hampir RM111 juta. Walaupun demikian kita masih tidak dapat melihat manfaat daripada fiskal yang kita peroleh ini di mana perbelanjaan untuk merawat penyakit-penyakit berkaitan dengan rokok dan vape ini mencecah hampir RM230 juta.

Ini adalah merupakan satu isu dan juga sememangnya pendaftaran produk rokok dan vape e-cigarette ini semakin meningkat. Dan juga, untuk perkongsian di dalam Dewan ini, bahan merokok berbentuk e-cigarette ataupun vape ini adalah— yang telah diluluskan adalah dalam sekitar 801 kelulusan dan juga sijil diberikan.

Walaupun demikian, ke arah menuju pengharaman vape ini, di situlah kita memerlukan dasar daripada Kabinet kerana dia melibatkan kelulusan produk-produk vape dan juga rokok kerana kita melihatkan dari sudut fiskal untuk pertambahan pendapatan dan juga untuk menggunakan cukai eksais ini kepada program-program literasi berkenaan tentang penggunaan e-cigarette dan juga vape.

Perkara ini telah pun kita lakukan dalam tempoh bertahun-tahun kebelakangan ini menggunakan program-program literasi merokok, tetapi untuk vape secara spesifik kita masih lagi belum mempunyai secara terperinci apakah penggunaan peruntukan ini untuk program-program spesifik bagi pencegahan rokok dan juga vape. Kita akan kongsikan daripada masa ke semasa melalui laporan kami kepada jawatankuasa Parlimen berkenaan tentang kesihatan. Terima kasih Tan Sri Speaker.

draft • 11:20 AM

Dato’ Hajah Mumtaz binti Md Nawi - Tumpat

Ispire?

draft • 11:20 AM

Tuan Yang di-Pertua

Baik, seterusnya saya jemput Tuan Abdul Latiff bin Abdul Rahman, Kuala Krai.

draft • 11:20 AM

Tuan Haji Abdul Latiff bin Abdul Rahman - Kuala Krai

Terima kasih Tan Sri Yang di-Pertua. Saya mohon untuk berpantun.

Kereta Nasional penuh keterampilan, Hasil tangan anak tempatan; Soalan Kuala Krai nombor sembilan, Mohon Menteri berikan jawapan.

draft • 11:20 AM

9. Tuan Haji Abdul Latiff bin Abdul Rahman [Kuala Krai] minta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri menyatakan:

(a) adakah kenderaan tempatan akan mengalami kenaikan harga akibat pengiraan cukai baharu 2025, sedangkan kenderaan EV menerima pengecualian hingga 2027; dan

(b) adakah kementerian bercadang menghapuskan cukai kenderaan tempatan dan CKD bagi mengurangkan beban pengguna serta memastikan keadilan Dasar Automotif Nasional.

draft • 11:20 AM

Tuan Yang di-Pertua

Silakan Menteri.

draft • 11:20 AM

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri - Tuan Liew Chin Tong

Terima kasih Tan Sri Yang di-Pertua dan juga terima kasih kepada Yang Berhormat Kuala Krai. Sehingga kini, Kementerian Kewangan sedang meneliti kesan terhadap kos kenderaan jika peraturan semasa berkaitan kaedah pengiraan nilai kos sesebuah kenderaan untuk dikenakan cukai eksais iaitu P.U.(A) 402/2019 dilaksanakan. Oleh itu, Kementerian MITI menjangkakan harga kenderaan tidak dipengaruhi oleh peraturan ini buat setakat ini.

Secara dasarnya, kerajaan tidak berhasrat untuk menghapuskan cukai eksais bagi kenderaan sama ada yang dipasang secara tempatan atau yang diimport. Kadar semasa dan kaedah pengenalan cukai eksais merupakan medium penting untuk mendukung galakan dan pembangunan industri automotif tempatan.

Walau bagaimanapun bagi cukai import pula, layanan kadar yang lebih istimewa berpotensi untuk dinikmati jika syarikat di Malaysia memanfaatkan skim import daripada negara sumber yang menjadi rakan dagang Malaysia di bawah pelbagai Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA).

Sungguhpun demikian, insentif pengecualian penuh cukai import dan cukai eksais masih boleh dinikmati bagi pembelian kenderaan elektrik yang diimport siap sepenuhnya sehingga hujung tahun ini. Manakala yang dipasang dalam negara ini CKD, insentif ini berlanjutan selama dua tahun lagi hingga tahun 2027.

Bagi mengurangkan kesan kadar cukai tidak langsung ini kepada harga kenderaan, kerajaan telah menyediakan galakan insentif pengecualian cukai kepada industri pengeluar dan pemasangan kenderaan tempatan. Insentif ini adalah bagi membolehkan industri automotif di dalam negara dapat terus berkembang dan memberi limpahan positif kepada ekonomi yang lebih meluas seperti dalam pembangunan rantaian bekalan atau galakan R&D dan peluang pekerjaan untuk rakyat. Selain itu, manfaat dari pengecualian cukai ini, syarikat pengeluar dan pemasang kenderaan tempatan dapat menawar harga kenderaan yang lebih kompetitif dalam pasaran tempatan. Terima kasih.

draft • 11:20 AM

Tuan Yang di-Pertua

Ya, silakan YB.

draft • 11:20 AM

Tuan Haji Abdul Latiff bin Abdul Rahman - Kuala Krai

Terima kasih Tan Sri Yang di-Pertua. Terima kasih Yang Berhormat Timbalan Menteri. Sementara EV terus diberikan pengecualian cukai sehingga 2027, rakyat luar bandar yang masih bergantung kepada kenderaan konvensional kini berdepan risiko kenaikan harga akibat struktur cukai baharu.

draft • 11:20 AM

Tuan Haji Abdul Latiff bin Abdul Rahman - Kuala Krai

Terdapat tawaran harga kenderaan rahmah yang dikurangkan seperti Axia oleh Perodua. Bukan disebabkan cukai eksais yang dikurangkan tetapi disebabkan aksesori yang ditiadakan. Teknologi lama. Termasuk tiada ciri-ciri keselamatan.

Soalan saya ialah apakah langkah konkrit, sebagaimana yang disebut oleh Yang Berhormat tadi, dan saya nak kepastian lagi, apakah langkah konkrit kementerian untuk memastikan dasar automotif ini benar-benar adil, termasuk memperkenalkan insentif khusus kepada pengguna di luar bandar seperti rebat cukai agar mereka tidak menjadi mangsa peralihan teknologi yang belum tersedia?

Dan apakah halangan pihak kerajaan bagi sekurang-kurangnya mengurangkan cukai kenderaan tempatan Proton, Perodua yang berkuasa kuda rendah, 1,000 atau pun 1,500 ke bawah, bagi memberi peluang kepada rakyat untuk menikmati harga kereta tempatan dengan lebih murah sebagaimana formula-formula yang dilontarkan sebelum menjadi kerajaan? Terima kasih.

draft • 11:30 AM

Tuan Yang di-Pertua

Sila Menteri.

draft • 11:30 AM

Tuan Liew Chin Tong

Terima kasih. Pertama sekali, seperti apa yang saya kata, peraturan ini masih diteliti oleh MOF atau Kementerian Kewangan. Maka, belum ada keputusan yang telah dilaksanakan.

draft • 11:30 AM

Tuan Jimmy Puah Wee Tse - Tebrau

[Bangun]

draft • 11:30 AM

Tuan Liew Chin Tong

Kedua ialah bahawa kalau syarikat tempatan seperti Perodua, dia kalau, apa ini, penggunaan ataupun pelaksanaan rantaian bekalan tempatan yang sepenuhnya, dia dapat pulangan atau rebat excise duty hampir 90 peratus ataupun lebih daripada 90 peratus. Maka, apa yang tujuan untuk excise duty ialah untuk memastikan sebanyak mungkin localization dilaksanakan untuk memanfaatkan rantaian bekalan kita.

Dan memang ada keperluan untuk kerajaan untuk memikir ataupun merancang lagi sektor ini kerana cabaran yang sangat besar yang kita hadapi sekarang ialah transisi daripada ICE atau kereta ICE kepada kereta EV ataupun elektronik dan juga saingan daripada harga rendah dari negara China. Maka, kerajaan melalui MITI telah menubuhkan satu jawatankuasa ataupun Majlis Orang Kenamaan dalam Industri Automotif atau Council of Automotive Eminent Persons untuk mengkaji semula dasar berkenaan dasar automotif dan hasil kajian ini akan diumumkan pada hujung tahun ini. Terima kasih.

draft • 11:30 AM

Tuan Yang di-Pertua

Baik. Saya jemput Tebrau.

draft • 11:30 AM

Tuan Jimmy Puah Wee Tse - Tebrau

Terima kasih Tan Sri Speaker. Yang Berhormat Menteri, untuk tiga tahun yang lalu ini, kerajaan telah mempromosikan industri EV sehinggalah kita beri tax exemption kepada kereta-kereta EV dan juga kita tarik Tesla masuk.

Dan baru-baru ini, kerajaan telah mengumumkan Skim BUDI95. Maka, salah satu selling point, dengan izin ya, kita guna kereta EV ialah bila dulu kita kata kalau kita caj elektrik, kos dia lebih rendah, tapi sekarang dengan penurunan harga minyak RON95 ini kepada RM1.99, bagaimana ini akan menjejaskan pembelian dan pengembangan kereta EV di Malaysia?

Sebab, setiap polisi atau dasar kerajaan, kita kena konsisten. Kalau tadi Kuala Krai nak tanya keadilan untuk kereta ICE, saya sekarang nak tanya keadilan untuk kereta EV. Ramai yang Malaysia ini yang sudah adopt dasar kerajaan untuk masuk ke penggunaan kereta EV. Sekarang, salah satu selling point mereka tiada.

So, konsistensi itu penting untuk kita menarik penggunaan dan pelaburan industri EV ke Malaysia.

So, soalan saya. Adakah kerajaan ada apa-apa dasar sekarang untuk mengimbangkan keadilan untuk mereka yang telah menggunakan kereta EV?

Seperti yang saya boleh sebut tadi, untuk kereta CBU, EV, pengecualian untuk tax akan tamat pada hujung tahun ini. Adakah kerajaan ada hasrat untuk kita sambung lagi demi kita memberi satu signal yang lebih jelas kepada pengguna dan pelaburan EV bahawa kita di negara ini, kita masih sokong perkembangan industri EV? Terima kasih.

draft • 11:30 AM

Tuan Yang di-Pertua

Baik. Sila, Menteri.

draft • 11:30 AM

Tuan Liew Chin Tong

Terima kasih Yang Berhormat Tebrau. Teknologi EV telah berubah banyak sejak tiga tahun yang lalu. Kita tidak lagi membezakan EV hanya bateri saja, bateri EV, tetapi telah muncul seperti REV di mana petrol dengan bateri diguna pakai bersama atau sekali. Dan teknologi― pandangan kami ialah teknologi yang akan datang lebih mementingkan penggunaan sekali, di mana bateri dan petroleum akan diguna pakai bersama.

Maka, saya rasa kalau dari sudut teknologi, memang kontradiksi itu ada tapi tak banyak, di mana teknologi telah berubah dan pengguna yang telah menikmati, apa ini, pelupusan ataupun pengecualian cukai, dia telah menikmati manfaat yang diberikan oleh kerajaan untuk mempromosikan EV. So, saya rasa tidak ada isu keadilan untuk yang mereka telah menikmati pengecualian cukai.

Tapi, untuk hala tuju kerajaan ialah kita akan memberikan tumpuan berasas energy efficiency. Tak kira dia bateri EV ataupun range extended EV ataupun HEV, asalkan kereta-kereta yang diguna pakai atas jalan raya kita akan guna pakai petroleum yang tidak ― lebih kurang daripada apa yang mereka guna sekarang.

Energy efficiency adalah kecekapan energy adalah sasaran kita. Terima kasih.

draft • 11:30 AM

Tuan Yang di-Pertua

Baik. Yang Berhormat, sekarang tamatlah sesi untuk waktu pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan pada hari ini. Menteri ada usul.

Silakan.

[Sesi Pertanyaan-pertanyaan bagi Jawab Lisan tamat]

draft • 11:30 AM
USUL
WAKTU MESYUARAT DAN URUSAN DIBEBASKAN DARIPADA PERATURAN MESYUARAT

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah - Datuk Hajah Rubiah binti Haji Wang

Tuan Yang di-Pertua, “Bahawa mengikut Peraturan Mesyuarat 12(1), saya mohon mencadangkan bahawa Mesyuarat pada hari ini tidak akan ditangguhkan sehingga selesai senarai pembahas yang akan diumumkan bagi Usul Menteri di Jabatan Perdana Menteri seperti di nombor 1 dalam aturan urusan mesyuarat dan usul- usul hari ini, dan selepas itu, Majlis Mesyuarat akan ditangguhkan sehingga jam 10 pagi hari Rabu, 8 Oktober 2025.”

draft • 11:37 AM

Tuan Yang di-Pertua

Baik. Ada sesiapa menyokong?

draft • 11:37 AM

Timbalan Menteri Kerja Raya - Datuk Seri Haji Ahmad bin Haji Maslan

Saya dengan ini menyokong.

draft • 11:37 AM

Tuan Yang di-Pertua

Baik. Terima kasih, Ahli Yang Berhormat. Sekarang saya kemukakan masalah kepada Majlis untuk diputuskan. Masalahnya ialah usul seperti yang dikemukakan tadi hendaklah disetujukan.

draft • 11:37 AM

[Usul dikemukakan bagi diputuskan; dan disetujukan]

USUL DI BAWAH P.M. 18(1) OLEH AHLI YANG BERHORMAT BUKIT GELUGOR

Tuan Yang di-Pertua

Baik. Kita ada satu usul. Oleh yang demikian, silakan, Bukit Gelugor.

draft • 11:37 AM

Tuan Ramkarpal Singh a/l Karpal Singh - Bukit Gelugor

Terima kasih, Tuan Speaker. Tuan Yang di-Pertua, saya telah mengemukakan satu usul di bawah Peraturan 18(1) yang berbunyi seperti berikut.

Bahawa Dewan yang bersidang hari ini merundingkan status terkini Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap siasatan berkenaan individu-individu yang dipercayai bertanggungjawab menyerahkan dadah kepada seorang warganegara Malaysia yang bernama Encik Pannir Selvam Pranthaman yang telah dijatuhkan hukuman mati di Singapura untuk diseludup dari Malaysia ke Singapura. Hukuman tersebut dijadual untuk dilaksanakan pada awal pagi 8 Oktober 2025 iaitu esok, hari Rabu, menurut satu perintah pelaksanaan hukuman, iaitu satu execution notice, dengan izin, yang telah pun dikeluarkan baru-baru ini.

Encik Pannir Selvam telah ditemu bual oleh pegawai kanan daripada Polis Diraja Malaysia di Penjara Changi di Singapura pada 27 September 2025. Temu bual tersebut telah pun berlangsung selama kira-kira tiga jam di mana Encik Pannir Selvam telah memberikan maklumat yang berkenaan individu-individu yang dipercayai bertanggungjawab menyerahkan dadah kepadanya di Malaysia untuk diseludup ke Singapura.

Maklumat yang diberikan tersebut berkemungkinan boleh membawa kepada pendakwaan terhadap dalang-dalang di sebalik jenayah penyeludupan dadah di Malaysia.

draft • 11:38 AM

Tuan Ramkarpal Singh a/l Karpal Singh - Bukit Gelugor

Kerjasama dan bantuan yang diberikan oleh Encik Pannir Selvam tersebut berpotensi untuk melumpuhkan kegiatan sindiket penyeludupan dadah rentas sempadan ini yang secara langsung akan memberi manfaat kepada Malaysia dan juga kepada Singapura. Perkara ini merupakan perkara tertentu iaitu sama ada terdapat apa-apa siasatan aktif yang sedang dijalankan oleh PDRM berhubung perkara ini.

Keduanya, perkara ini berkehendak disegerakan memandangkan hukuman mati ke atas Encik Pannir Selvam dijadual dilaksanakan pada esok iaitu 8 Oktober 2025 di Singapura. Dan yang ketiga, Tuan Yang di-Pertua, ini adalah perkara yang berkenaan dengan kepentingan orang ramai, mengambil kira bahawa adalah berkaitan dengan nyawa seorang rakyat Malaysia yang bakal dihukum mati dan kes ini juga mendapat perhatian orang ramai, persatuan-persatuan bukan kerajaan dan media di peringkat kebangsaan dan juga antarabangsa. Sekian, terima kasih, Tuan Yang di-Pertua.

draft • 11:40 AM

Tuan Yang di-Pertua

Baik, terima kasih Bukit Gelugor. Ahli Yang Berhormat, saya telah menerima satu pemberitahu usul di bawah Peraturan Mesyuarat 18(1) oleh Yang Berhormat Bukit Gelugor pada hari Isnin 6 Oktober 2025. Teks usul itu adalah seperti yang dibacakan oleh Yang Berhormat Bukit Gelugor sebentar tadi.

Bagi membolehkan perkara ini dipertimbangkan oleh Majlis Mesyuarat, Yang di-Pertua hendaklah berpuas hati bahawa perkara yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat itu memenuhi tiga syarat. Syarat yang pertama ialah bahawa perkara ini tertentu. Syarat yang kedua ialah bagi kepentingan orang ramai dan syarat ketiga ialah berkehendakkan disegerakan. Saya telah meneliti perkara ini dan mendapati bahawa:

(a) Tertentu. Perkara ini adalah perkara yang tertentu,

(b) Berkepentingan orang ramai. Ia adalah bagi kepentingan orang ramai; dan

(c) Berkehendakkan disegerakan. Perkara ini juga perlu disegerakan.

Oleh yang demikian, saya membenarkan usul ini untuk dirundingkan di Kamar Khas pada petang ini. Terima kasih. Setiausaha.

draft • 11:40 AM
RANG UNDANG-UNDANG DIBAWA KE DALAM MESYUARAT
RANG UNDANG-UNDANG PERBEKALAN 2026 Bacaan Kali Yang Pertama

Rang undang-undang bernama suatu akta untuk mengeluarkan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Disatukan untuk perkhidmatan bagi tahun 2026 dan bagi memperuntukkan jumlah wang itu untuk perkhidmatan bagi tahun itu; dibawa ke

draft • 11:40 AM

dalam Mesyuarat oleh Menteri Kewangan (II) - Datuk Seri Amir Hamzah Azizan

; dibaca kali yang pertama; akan dibacakan kali yang kedua pada hari Jumaat, 10 Oktober 2025, jam 4 petang.

draft • 11:40 AM
RANG UNDANG-UNDANG AGENSI PERSENDIRIAN (PINDAAN) 2025 Bacaan Kali Yang Pertama

Rang undang-undang bernama satu akta untuk meminda Akta Agensi Persendirian 1971; dibawa ke dalam Mesyuarat oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri [Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar bin Haji Nasarah]; dibaca kali yang pertama; akan dibacakan kali yang kedua dan ketiga pada Mesyuarat yang sama.

draft • 11:40 AM
USUL MENTERI DI BAWAH P.M. 27(3) MENGENAI LAPORAN KETUA AUDIT NEGARA

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) - Dato’ Sri Azalina binti Othman Said

*Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.* Tan Sri Yang di-Pertua, “MENYEDARI bahawa dalam sistem akauntabiliti negara, Institusi Ketua Audit Negara merupakan agensi penyeliaan yang berperanan untuk mengesahkan semua aktiviti dan kewangan yang telah diluluskan oleh Parlimen dilaksanakan oleh cabang badan eksekutif dengan penuh akauntabiliti. Ketua Audit Negara hendaklah menentukan sama ada pada pendapatnya wang telah digunakan untuk maksud yang diperuntukkan atau dibenarkan dan aktiviti yang berhubungan dengannya, dijalankan atau diuruskan dengan cara yang cekap, dengan memberi perhatian sewajarnya terhadap pengelakan pembaziran atau keborosan seperti termaktub dalam Akta

draft • 11:43 AM

Audit 1957 - Akta 62

.

MENYEDARI Ketua Audit Negara dalam menjalankan mandat dan tanggungjawabnya, memerlukan perhatian yang serius daripada pihak berkaitan supaya isu yang dibangkitkan diberi perhatian sewajarnya manakala syor-syor utama yang terkandung dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) dilaksanakan dengan berkesan.

MENYEDARI bahawa LKAN telah dibentangkan di Dewan Rakyat pada Isnin, 6 Oktober 2025 iaitu LKAN 3/2025 (Kertas Perintah 14 Tahun 2025) Mengenai Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan Tahun 2024 dan Aktiviti Kementerian/Jabatan/Syarikat Kerajaan Persekutuan.

MEMAHAMI bahawa LKAN membangkitkan isu-isu berkaitan penjagaan wang awam atau simpanan awam yang memerlukan tindakan berkesan daripada kementerian, jabatan dan agensi yang diaudit.

MEMPERAKUI bahawa kerajaan memandang serius isu yang dibangkitkan dalam LKAN, dan YAB Perdana Menteri sendiri sudah mengarahkan agar Menteri terlibat meneliti isu dibangkitkan. Segala isu yang melibatkan ketirisan, ketidakpatuhan kepada peraturan, tidak mematuhi syarat dan kelemahan dalam perancangan perlu diteliti dan diambil tindakan pembetulan. Semua teguran seharusnya menjadi pengajaran supaya tidak berulang.

BAHAWA dalam Ketua Audit Negara melaksanakan mandatnya, Dewan yang mulia ini menyeru agar semua pihak bersatu hati dan menyokong kerajaan agar dapatan Audit dan syor yang terkandung dalam laporan tersebut dapat diambil tindakan dengan serius oleh pihak terlibat untuk mengatasi kelemahan yang ditemui daripada terus berlaku.” [Dato’ Indera Mohd Shahar bin Abdullah (Paya Besar) **mempengerusikan Mesyuarat****] Tuan Yang di-Pertua, audit bukan sekadar semakan kewangan. Ia adalah mekanisme utama memastikan tiada ketirisan dalam pengurusan wang rakyat. Untuk memastikan mekanisme ini berfungsi dengan berkesan, institusi audit perlu diperkasa. Langkah pemeriksaan ini direalisasikan, maaf. Langkah pemerkasaan ini direalisasikan apabila Akta Audit 1957 dipinda pada tahun 2024 selepas 33 tahun tidak disentuh. Pindaan ini membuka lembaran baru kepada Jabatan Audit Negara sebagai institusi audit bebas yang memainkan peranan penting dalam memastikan akauntabiliti kerajaan di semua peringkat.

Yang Amat Berhormat Perdana Menteri telah menegaskan bahawa kerajaan tidak akan mencampuri urusan audit. Sebaliknya, memberi ruang sepenuhnya kepada Jabatan Audit Negara untuk bertindak secara profesional dan bebas. Malah peranan pengauditan kini turut diperluas kepada lebih 2,000 syarikat berkaitan kerajaan (GLC), satu langkah penting dalam agenda reformasi perkhidmatan awam demi ketulusan dan tadbir urus baik.

Tuan Yang di-Pertua, apabila Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) dibentangkan, ia bukan sekadar diletakkan di atas meja. Kita membenarkan laporan ini diteliti dan dibahaskan secara terbuka di Dewan Rakyat kerana hanya melalui perbahasan dan penelitian, kita dapat memperbaiki kelemahan, memahami teguran dan menambah baik sistem. Dalam apabila ruang untuk perbahasan diberi, ia membuktikan bahawa Kerajaan MADANI tidak takut kepada kritikan, malah menerima pandangan untuk terus memperbaiki apa yang perlu ditambah baik.

Termasuklah kali ini, LKAN dibentang dan dibahas buat kali keenam di Dewan yang mulia ini.

Kita telah melihat trend positif daripada tahun ke tahun, hasil daripada perbincangan dan teguran yang membina, justeru saya merakamkan penghargaan kepada semua Ahli-ahli Yang Berhormat yang telah menyumbang kepada perbahasan ini. Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) telah dibentangkan di dalam Dewan yang mulia ini pada 6 Oktober 2025 iaitu LKAN 3/2025, mengenai Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan tahun 2024 dan aktiviti kementerian, jabatan, syarikat Kerajaan Persekutuan.

LKAN kali ini adalah lebih komprehensif berbanding dengan LKAN terdahulu dan merangkumi pengesahan Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan bagi tahun berakhir 31 Disember 2024, analisis kewangan Kerajaan Persekutuan, prestasi pelaksanaan projek pembangunan Rancangan Malaysia Kedua Belas, fokus utama audit, pengauditan pejabat perwakilan, pengauditan status penyiapan projek pangkalan operasi hadapan di Pulau Mabul, pengauditan syarikat kerajaan dan status tindakan bagi isu yang dilaporkan dalam LKAN.

Bagi menambah baik kelemahan yang dibangkitkan atau mengelakkan kelemahan yang sama berulang, sebanyak 27 syor telah dikemukakan dalam LKAN ini untuk diambil tindakan oleh kementerian, jabatan, agensi dan syarikat Kerajaan Persekutuan berkenaan. Buat julung kalinya, dalam LKAN ini turut dilaporkan status pengauditan melalui sistem e-SelfAudit. Dilancarkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri pada Februari tahun ini, e-SelfAudit merupakan sebahagian daripada reformasi audit negara yang menggunakan teknologi kecerdasan buatan

(AI) bagi meningkatkan kecekapan dan ketetapan analisis.

draft • 11:43 AM

Audit 1957 - Akta 62

Sebelum wujudnya sistem e-SelfAudit, bilangan syarikat yang dapat diaudit oleh Jabatan Audit Negara adalah sangat terhad kerana bergantung sepenuhnya kepada jumlah tenaga kerja yang ada. Dengan adanya sistem e-SelfAudit, cabaran ini dapat diatasi. Pelaksanaan sistem e-SelfAudit telah membawa kepada pencapaian yang memberangsangkan bagi Jabatan Audit Negara. Jika sebelum ini, kapasiti Audit terhad, sistem baru ini telah membolehkan Jabatan Audit Negara untuk mengaudit sejumlah besar 1,856 syarikat.

Tuan Yang di-Pertua, perbahasan LKAN ini mencerminkan komitmen kerajaan terhadap ketelusan dan akauntabiliti. Ia memberi mesej jelas bahawa pengurusan dana awam mesti bebas daripada ketirisan dan teguran Audit mesti disusuli dengan tindakan pembetulan segara.

Akhir sekali, Yang Berhormat Perdana Menteri telah menegaskan bahawa setiap Menteri bertanggungjawab penuh terhadap teguran dalam LKAN 3/25, agar kelemahan yang berulang dapat ditangani dengan tuntas.

Oleh itu Tuan Yang di-Pertua, saya mohon mencadangkan. Terima kasih.

draft • 11:50 AM

Dato' Indera Mohd Shahar bin Abdullah - Paya Besar

Ada sesiapa yang menyokong?

draft • 11:50 AM

Timbalan Menteri Kerja Raya - Datuk Seri Haji Ahmad bin Haji Maslan

Saya mohon menyokong.

draft • 11:50 AM

Dato' Indera Mohd Shahar bin Abdullah - Paya Besar

Terima kasih Yang Berhormat Menteri. Ahli-ahli Yang Berhormat, masalah sekarang ini ialah usul Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri ini terbuka untuk di bahaskan.

Di tangan saya ada 24 senarai pembahas bagi Laporan Ketua Audit Negara 3/2025. Pembahas yang pertama, Yang Berhormat Sandakan, Yang Berhormat Sik, Yang Berhormat Tampin, Yang Berhormat Machang, Yang Berhormat Pasir Gudang, Yang Berhormat Temerloh, Yang Berhormat Jelutong, Yang Berhormat Tumpat, Yang Berhormat Jempol, Yang Berhormat Jerlun, Yang Berhormat Bayan Baru, Yang Berhormat Jerantut, Yang Berhormat Seputeh, Yang Berhormat Tangga Batu, Yang Berhormat Rasah, Yang Berhormat Padang Serai, Yang Berhormat Besut, Yang Berhormat Bukit Bendera, Yang Berhormat Tanjong Karang, Yang Berhormat Maran, Yang Berhormat Mas Gading, Yang Berhormat Pengkalan Chepa, Yang Berhormat Arau dan yang terakhir, Yang Berhormat Kota Melaka.

Masa yang diberikan kepada semua pembahas-pembahas adalah lapan minit. Saya jemput pembahas yang pertama, Yang Berhormat Sandakan, lapan minit.

draft • 11:50 AM

Puan Vivian Wong Shir Yee - Sandakan

Terima kasih Tuan Yang di-Pertua atas peluang yang diberikan untuk saya turut sertai dalam perbahasan Laporan Ketua Audit Negara 2025.

Jadi, terdapat satu tema yang berulang setiap kali Laporan Ketua Audit Negara dibentangkan di Dewan Negara iaitu projek dari pelbagai kementerian dan agensi gagal dilaksanakan dan seperti yang dirancang, seperti projek yang dilabelkan sebagai projek sakit. Jadi, mengalami kelewatan yang ketara, kos meningkat melebihi daripada — yang sangat ketara dan juga matlamat projek ini tidak tercapai.

Jadi, tema ini berulang tahun demi tahun dan rakyat secara umumnya mula telah mempersoalkan keberkesanan Laporan Audit tersebut dalam membawa perubahan yang nyata. Jadi, kali ini muka surat 81 Laporan Ketua Audit Negara telah menyuara bahawa, sehingga 31 Disember 2024, terdapat sebanyak 157 projek sakit yang melibatkan 18 kementerian.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mencatatkan bilangan projek lewat jadual tertinggi iaitu 46 projek, diikuti dengan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) sebanyak 34 dan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) sebanyak 12 projek dan Kementerian Pembangunan Kerajaan (KPKT) sebanyak 11 projek.

Jadi Tuan Speaker, saya ingin memohon agar pihak kerajaan menyediakan satu perbandingan yang menyeluruh, bermula daripada tahun 2015 sehingga kini, berhubung dengan bilangan projek sakit yang telah direkodkan oleh Ketua Audit Negara setiap tahun.

Adakah bilangan projek sakit ini semakin meningkat ataupun menurun dari tahun ke tahun? Ini merupakan petunjuk yang penting sama ada tindakan pembetulan yang mencukupi telah diambil oleh - terhadap teguran-teguran yang dikemukakan oleh Ketua Audit Negara.

Secara dasarnya, saya memang mengalu-alukan pembentangan Laporan Ketua Audit Negara kerana ini merupakan satu mekanisme semak dan imbang yang penting terhadap semua dan jabatan dan semua agensi kerajaan. Saya — bagi memastikan proses serta SOP dipatuhi, kebocoran dapat ditangani dan juga wang pembayar cukai dibelanjakan secara berhemah dan berkesan.

Sehubungan dengan itu, saya mendesak kerajaan untuk menyiasat setiap isu yang dibangkitkan dalam laporan ini dan memberikan jawapan kepada rakyat berhubungan dengan perkara-perkara tersebut.

Yang pertama, adakah terdapat unsur salah laku atau pecah amanah yang terlibat dalam setiap ketidakpatuhan dan projek sakit yang disebutkan oleh Laporan Ketua Audit Negara? Apakah tindakan yang sedang atau telah diambil untuk menangani ketidakpatuhan dan kelemahan ini? Sekadar memperkukuhkan atau pemantauan adalah tidak mencukupi. Kita memerlukan kajian sistematik dan juga tindakan yang positif terhadap mereka yang telah membuktikan tanggungjawab serta kecuaian dalam melaksanakan amanah.

Jadi Dato’ Speaker, saya juga ingin menyuarakan kebimbangan terhadap isu yang dibangkitkan dalam laporan tersebut, berkenaan dengan penyiapan Projek Pangkalan Operasi Hadapan di Pulau Mabul, Semporna, Sabah adalah satu - dalam kawasan kawalan di bawah ESSCOM. Projek Pangkalan Operasi Hadapan bagi Eastern Sabah Security Zone (ESSZONE) di Pulau Mabul untuk pasukan polis marin yang telah diluluskan hampir 10 tahun lalu masih belum disiapkan dan kini memerlukan peruntukan tambahan sebanyak RM28.7 juta, menurut laporan tersebut.

Jadi, projek ini yang bertujuan untuk memperkukuhkan keselamatan sempadan dan persisiran pantai di Pantai Timur Sabah telah dicadangkan oleh ESSCOM di bawah Rancangan Malaysia Kesebelas dengan peruntukan asal RM52.81 juta. Setelah sedekad berlalu, projek ini masih jauh daripada siap dan kontraktor pula sedang dalam proses pembubaran, menyebabkan kerajaan berisiko tidak dapat menuntut sebarang pampasan.

Jadi, jelas bahawa matlamat asal projek untuk mengurangkan masa tindak balas pasukan keselamatan awam dan mengurangkan jenayah rentas sempadan gagal dicapai. Kegagalan melaksanakan projek ini dengan berkesan boleh membawa implikasi serius terhadap keselamatan negara. Pasukan barisan hadapan kita telah menjalankan tanggungjawab mereka dengan penuh dedikasi. Namun, mereka memerlukan infrastruktur sokongan yang kukuh untuk melindungi kedaulatan negara. Jadi, tiada kompromi boleh dibuat terhadap keselamatan negara.

Jadi Tuan Yang di-Pertua, semua ini telah berlalu dengan biasa kedengaran.

Jadi, saban tahun ini yang sama dibangkitkan. Contohnya, Pakej 4 Projek Lebuhraya Libaran Bypass di Sandakan. Saya sudah berkali-kali bangkit dan sini saya masih perlu bangkit lagi. Tempoh pembinaan keseluruhan projek ini, sepanjang lapan kilometer ini telah berlarutan lebih daripada 10 tahun tetapi masih belum siap.

Sebuah jambatan di bawah projek ini telah runtuh, bukan sekali tetapi dua kali. Namun sehingga kini, tiada agensi yang dapat memberikan jawapan berhubung punca keruntuhan jambatan tersebut sama ada mereka tidak berkepatuhan ataupun kelemahan dalam reka bentuk ataupun kecuaian pihak pelaksana.

Siapakah pihak yang bertanggungjawab, yang perlu mengambil tanggungjawab ini? Berapakah kos yang telah ditambah untuk dibelanjakan untuk menyelamatkan projek ini? Dan juga yang paling penting, bilakah jalan ini dapat akhirnya disiap dan dibuka untuk kegunaan awam? Semua jawapan ini belum dibagi kepada saya, walaupun sudah berkali-kali berbangkit.

Jadi, projek-projek sakit seperti ini bukan sahaja menjejaskan kecekapan pentadbiran tetapi juga mencemarkan nama baik Kerajaan MADANI. Tindakan yang tegas dan konkrit perlu diambil untuk pihak yang berkuasa yang berkenaan bagi menangani segala kelemahan dan juga kegagalan ini, bukan sekadar dibincangkan di atas kertas.

Jadi akhir kata sekali, saya ingin menegaskan bahawa tindakan susulan yang bersifat positif dan tegas mesti diambil terhadap — bersifat punitif dan tegas diambil terhadap mereka yang didapati bertanggungjawab dan dinyatakan dalam Laporan Ketua Audit Negara. Malah, kes-kes seperti ini perlu disiasat, unsur-unsur jenayah seperti pecah amanah ataupun salah laku.

Hanya dengan cara ini, kita dapat menegakkan keadilan dan mempertahankan reputasi ribuan penjawat awam yang bekerja keras demi negara dan rakyat. Sekian dan terima kasih.

draft • 11:52 AM

Dato' Indera Mohd Shahar bin Abdullah - Paya Besar

Terima kasih Yang Berhormat Sandakan. Berikutnya, Yang Berhormat Sik. Lapan minit.

draft • 11:52 AM

Tuan Ahmad Tarmizi bin Sulaiman - Sik

Assalamualaikum warahmatullah. Terima kasih Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua. Pada hari ini, saya juga ingin bersama untuk dalam perbahasan dalam Laporan Ketua Audit Negara Bilangan 2 Tahun 2025. Kerana laporan audit ini bukan sekadar laporan teknikal tetapi merupakan cerminan terhadap kejujuran dan keberkesanan pengurusan awam serta ukuran terhadap sama ada amanah rakyat benar-benar dijaga atau sebaliknya.

draft • 11:59 AM

Tuan Ahmad Tarmizi bin Sulaiman - Sik

Maka, menjadi tanggungjawab Dewan ini untuk meneliti setiap teguran dan penemuan audit dengan tuntas bukan sekadar ritual tahunan tetapi sebagai mekanisme semak imbang terhadap pelaksanaan dasar dan penggunaan wang rakyat.

Dalam perbahasan ini saya akan menumpukan perhatian kepada dua laporan berasingan yang memberi kesan langsung kepada keutuhan fiskal dan kesejahteraan rakyat. Yang pertama mengenai perolehan ladang sawit oleh FELCRA Berhad. Dan yang kedua, pengurusan harga kawalan serta subsidi minyak masak di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Tuan Yang di-pertua yang pertama, pengurusan perolehan ladang sawit oleh FELCRA Berhad. Laporan Ketua Audit Negara mendapati bahawa FELCRA telah melaksanakan perolehan pajakan dan pembelian empat ladang sawit antara tahun 2022 hingga 2024 dengan nilai keseluruhan RM241.76 juta. Daripada jumlah ini, satu daripadanya melibatkan pembelian ladang di Telupid, Sabah bernilai RM62.29 juta, manakala tiga lagi merupakan pajakan di Gua Musang, Kelantan.

Penemuan audit menegaskan wujudnya ketidakaturan yang serius dalam proses perolehan termasuk kegagalan mematuhi prinsip due diligence dan tata cara pengurusan perolehan yang sepatutnya menjadi garis panduan bagi syarikat milik kerajaan. Khusus kepada estet Telupid di Sabah, laporan audit menunjukkan bahawa FELCRA telah meneruskan pembelian ladang tersebut walaupun terdapat kelemahan dalam penilaian daya maju dan kebimbangan dalam rekod pentadbiran.

Harga belian bagi ladang Telupid ini dicatatkan sekitar RM62.29 juta manakala audit menimbulkan persoalan sama dan langkah pemilikan itu telah disokong oleh kajian bebas yang memadai sebelum kelulusan dibuat.

Tindakan seperti ini menimbulkan risiko bahawa aset yang diberi…

draft • 12:00 PM

Dato’ Mohd Isam bin Mohd Isa - Tampin

Sik, Sik, sikit Sik.

draft • 12:00 PM

Tuan Ahmad Tarmizi bin Sulaiman - Sik

Ya.

draft • 12:00 PM

Dato’ Mohd Isam bin Mohd Isa - Tampin

Apa yang Sik bangkitkan itu laporan kedua, bukan laporan ketiga sekarang, Sik. Itu dalam kita punya pertimbangan itu.

draft • 12:00 PM

Tuan Ahmad Tarmizi bin Sulaiman - Sik

Ya, terima kasih, Yang Berhormat.

Saya juga menimbulkan yang laporan sebelum itu. Sebagai laporan yang penting untuk dilihat dalam Laporan Ketua Audit ini bagi memastikan bahawa laporan keseluruhan setiap tahun itu penting dilihat oleh kita di Parlimen ini bagi memastikan setiap agensi-agensi kerajaan ini dapat diurus dengan sebaiknya.

draft • 12:00 PM

Dato’ Indera Mohd Shahar bin Abdullah - Paya Besar

Yang Berhormat Sik.

draft • 12:00 PM

Tuan Ahmad Tarmizi bin Sulaiman - Sik

Ya.

draft • 12:00 PM

Dato’ Indera Mohd Shahar bin Abdullah - Paya Besar

Saya ingat Yang Berhormat tumpukan kepada Laporan Kewangan Audit 3/2025 ya.

draft • 12:00 PM

Tuan Ahmad Tarmizi bin Sulaiman - Sik

Ya, baik. Baik, Yang Berhormat.

Mungkin saya akan melihat itu dengan lebih teliti dan saya lihat ada perkara-perkara penting juga termasuklah laporan yang dibentangkan ini. Dan saya ingat itu saja untuk ucapan saya hari ini. Terima kasih.

draft • 12:00 PM

Dato’ Indera Mohd Shahar bin Abdullah - Paya Besar

Terima kasih, Yang Berhormat Sik. Berikutnya, Yang Berhormat Tampin.

draft • 12:00 PM

Dato’ Mohd Isam bin Mohd Isa - Tampin

*Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh*. Salam sejahtera dan salam Malaysia MADANI. Terima kasih Tuan Speaker atas keizinan, ruang dan peluang yang diberikan kepada saya untuk turut sama mengambil bahagian dalam perbahasan Laporan Ketua Audit Negara Bilangan 3/2025.

Dato’ Indera Speaker, terlebih dahulu saya ingin merakamkan ucapan penghargaan kepada pihak kerajaan terutamanya Kementerian Kewangan kerana berjaya menambah baik prestasi kewangan Kerajaan Persekutuan pada tahun lalu.

[Tepuk] Seperti yang telah dilaporkan menerusi LKAN pada kali ini iaitu pertama, kedudukan defisit Kerajaan Persekutuan telah menunjukkan penurunan kepada RM79.166 bilion pada tahun 2024 berbanding RM91.390 bilion pada tahun 2023.

Kedua, nisbah defisit kepada KDNK juga telah merekodkan penurunan kepada 4.1 peratus pada tahun 2024 berbanding lima peratus pada tahun 2023.

Ketiga, terimaan Kerajaan Persekutuan juga telah mencatatkan peningkatan kepada RM326.355 bilion pada tahun 2024 berbanding RM315.9166 bilion pada tahun 2023.

Keempat, perbelanjaan Kerajaan Persekutuan pada tahun 2024 juga telah menunjukkan penurunan kepada RM405.521 bilion berbanding RM407.356 bilion pada tahun 2023.

Syabas dan tahniah diucapkan kepada semua pihak yang telah terlibat sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam menyumbang idea dan kepakaran sehingga membolehkan angka-angka ini berjaya direkodkan. Namun begitu, di sebalik angka yang kelihatan positif ini masih banyak lagi usaha yang perlu dilakukan oleh kerajaan untuk menutup kelemahan dalam pengurusan dan akauntabiliti kewangan yang terus berulang setiap tahun.

Dato’ Indera Speaker, mengenai prestasi pelaksanaan projek pembangunan di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK12) iaitu bagi tempoh 2021 hingga 2025. Sehingga 31 Disember 2024 telah dilaporkan terdapat sebanyak 157 projek lewat jadual atau projek sakit yang melibatkan 18 kementerian yang mana KPM telah merekodkan bilangan projek sakit tertinggi yang berjumlah sebanyak 46 projek.

Diikuti oleh KKDW sebanyak 34 projek, PETRA sebanyak 12 projek, KPT sebanyak 11 projek dan sebagainya.

Lebih menyedihkan, terdapat empat projek sakit dengan peratus kelewatan fizikal melebihi 20 peratus yang telah mendapat dua hingga 10 perakuan kelambatan dan lanjutan masa EOT dalam tempoh EOT sehingga 785 hari. Adakah kegagalan ini berpunca daripada kelewatan perolehan ataupun perancangan yang tidak realistik ataupun kelemahan penyeliaan di lapangan? Perkara ini secara tidak langsung telah menimbulkan persoalan tentang keberkesanan penyelarasan antara kementerian pelaksana, agensi teknikal dan Kementerian Ekonomi.

Saya berpendapat pihak kerajaan perlu mencari jalan untuk menoktahkan masalah kelewatan projek-projek kerajaan, terutama yang berpunca daripada kelemahan pihak kontraktor ataupun pihak pemaju. Sekiranya tiada tindakan tuntas atau drastik diambil berhubung masalah ini, sudah tentunya kelemahan ini bakal merencatkan perjalanan pembangunan yang telah dirancang oleh kerajaan demi kepentingan rakyat dan negara. Tindakan yang tegas juga perlu diambil terhadap kontraktor-kontraktor atau pemaju-pemaju yang gagal menjalankan tanggungjawab dan amanah yang telah dianugerahkan kepada mereka.

Saya mencadangkan agar syarikat-syarikat kontraktor atau syarikat pemaju yang terlibat disenaraihitamkan oleh kerajaan dan dilucutkan lesen perniagaan mereka. Saya juga mencadangkan agar satu Jawatankuasa Khas ditubuhkan oleh kerajaan untuk memantau segala perkembangan projek sakit di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas. Besar harapan saya agar perjalanan RMK13 bagi tempoh 2026 hingga 2030 yang telah dibentangkan pada 31 Julai 2025 yang lalu tidak dicemari dengan masalah-masalah projek lewat jadual atau projek sakit ini.

Seterusnya, Dato’ Indera Yang di-Pertua, LKAN pada kali ini turut melaporkan berkenaan kutipan hasil penjualan nombor pendaftaran kenderaan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Kementerian Pengangkutan mengenai nombor pendaftaran tidak aktif yang belum ditawarkan kepada umum. Berdasarkan data semakan audit yang dikemukakan oleh Bahagian Teknologi Digital JPJ, terdapat sebanyak 375,792 nombor pendaftaran yang tidak aktif masih tidak terjual setakat tahun 2024 dan saya yakin angka ini akan terus meningkat daripada masa ke semasa. Masalah ini didapati telah mengakibatkan kerugian yang besar kepada pihak kerajaan iaitu sekurang-kurangnya RM112.73 juta sekiranya nombor pendaftaran tersebut dijual pada harga minimum iaitu RM300.

Ini menunjukkan terdapat ketirisan kawalan dalaman dalam sistem mySIKAP dan kelemahan pemantauan di peringkat JPJ. Jika dirujuk kepada Jadual 6, nombor pendaftaran tidak aktif belum dijual setakat 2024 di dalam LKAN 3/2025 muka surat 96, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur telah merekodkan jumlah tertinggi iaitu sebanyak 98,910, diikuti Johor sebanyak 49,851, Putrajaya sebanyak 45,467 dan sebagainya.

Pada kesempatan ini, saya ingin mendapatkan penjelasan mengapakah perkara ini boleh terjadi dan terus dibiarkan berlaku oleh JPJ pada satu tempoh yang panjang? Saya menggesa agar sistem secara dalam talian dikenali sebagai e-Baki nombor pendaftaran kenderaan dapat disegerakan oleh kerajaan.

draft • 12:03 PM

Dato’ Mohd Isam bin Mohd Isa - Tampin

Selain itu, umum mengetahui terdapat banyak keluhan daripada rakyat mengenai kewujudan ulat nombor individu atas sindiket yang cuba mengaut keuntungan atas angin melalui penjualan semula nombor pendaftaran kenderaan di pelbagai medium, di pelbagai platform media sosial. Adakah perkara ini dibenarkan dari sudut perundangan? Apakah usaha kerajaan untuk mencegah fenomena ulat nombor ini bagi memberi keadilan kepada orang ramai untuk mendapatkan nombor pendaftaran kenderaan kegemaran mereka menerusi sistem eBid? Sekiranya masalah ini tidak dapat dibendung oleh kerajaan, saya fikir matlamat sistem JPJeBid yang bertujuan untuk memudahkan urusan pembidaan nombor pendaftaran kenderaan terus jauh menyimpang.

Dato’ Indera Speaker, LKAN ini bukanlah sekadar laporan kewangan.

Laporan ini merupakan cerminan kebertanggungjawaban kerajaan terhadap rakyat dan tadbir urus kerajaan. Akauntabiliti bukanlah sekadar slogan, tetapi mestilah dibuktikan melalui tindakan. Selagi ketirisan, kelewatan projek dan pengurusan hasil lemah terus berlaku, selagi itulah kepercayaan rakyat terhadap urus tadbir kerajaan akan terus terhakis.

Sekian saja daripada saya setakat ini. Saya berharap agar segala pandangan dan persoalan yang dibangkitkan sebentar tadi mendapat perhatian pihak kerajaan.

Terima kasih Dato’ Yang di-Pertua.

draft • 12:10 PM

Dato’ Indera Mohd Shahar bin Abdullah - Paya Besar

Terima kasih Yang Berhormat Tampin. Berikutnya Yang Berhormat Machang.

draft • 12:10 PM

Tuan Wan Ahmad Fayhsal bin Wan Ahmad Kamal - Machang

Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Saya ingin mengalu-alukan kedatangan guru dan para pelajar MRSM Parit, Perak.

[Tepuk] Selamat datang.

Tuan Yang di-Pertua, dalam sejarah pemerintahan bangsa yang panjang, hanya satu prinsip yang membezakan pemerintahan yang berkat dengan pemerintahan yang binasa, yakni kejujuran dalam tadbir urus. Apabila kuasa dijalankan tanpa kejujuran, maka rasuah bukan lagi jenayah, ia menjadi budaya.

Apabila amanah diabaikan, maka hasil negara bukan lagi rezeki rakyat. Ia menjadi habuan kelompok terpilih. Itulah inti kepada Laporan Ketua Audit Negara 3/2025 yang kini kita bahaskan. Laporan ini bukan sekadar angka atau jadual kewangan, ia adalah cermin yang memantulkan wajah sebenar Kerajaan MADANI pada hari ini.

Tuan Yang di-Pertua, Laporan Ketua Audit Negara mendedahkan satu corak kelemahan sistemik dan berulang dalam Kerajaan MADANI. Hutang Persekutuan kini mencecah RM1.24 trilion bersamaan dengan 64.6 peratus KDNK. Liabiliti keseluruhan negara meningkat kepada RM1.57 trilion. RM44.5 bilion hasil belum dikutip di mana separuh daripadanya tertunggak lebih enam tahun.

Antara perkara yang saya nampak benda yang kerajaan boleh tambah baiklah, bagaimana kita kehilangan kutipan cukai daripada barang-barang yang diseludup. Saya baru pulang daripada Kenya bersama dengan Yang Berhormat Subang Jaya dan rakan-rakan daripada Ahli-ahli Parlimen Jawatankuasa Pilihan Khas Hubungan Antarabangsa dan Hubungan Perdagangan Antarabangsa. Di Kenya ada sebuah syarikat yang dimulakan oleh anak Malaysia yang mana mereka diberi tanggungjawab untuk memantau sistem kastam di Afrika Timur, Kenya, Uganda, Tanzania dan sebagainya. Dan hasil daripada sistem pemantauan yang cekap ini, negara-negara di Afrika Timur berjaya meningkatkan hasil kutipan cukai sebanyak 20 peratus. Kerana ada pemantauan yang baik, tadbir urus yang baik, mereka tidak ada ketirisan dari segi barang-barang yang diseludup.

Saya yakin kalau Kerajaan MADANI berani mengambil langkah yang lebih reformasi, perkenalkan sistem yang sama ini dalam Jabatan Kastam kita dan saya yakin kutipan cukai yang tiris ini, yang ketirisan ini boleh kita jadikan dan menampung subsidi minyak yang kita buat baru-baru ini. Maknanya apa? The losses from contraband and any other goods that flow into the country is massive. Kerana apa?

Kerana tiada sistem pemantauan daripada Kementerian Kewangan dengan baik.

Jadi kita boleh bantu mempercantikkan Laporan Ketua Audit Negara ini untuk sesi akan datang, kalau mana kita bawa inisiatif ini.

8,755 projek pembangunan di bawah RMK12, namun hampir 10 peratus gagal atau lewat siap dan kerajaan gagal mengutip penalti RM54.5 juta daripada kontraktor konsesi kenderaan. Ini bukan angka rawak, ini adalah bukti bahawa tadbir urus fiskal kerajaan ini longgar, tidak berdisiplin dan tidak berakauntabiliti.

draft • 12:11 PM

Datuk Seri Takiyuddin bin Hassan - Kota Bharu

Machang, boleh minta...

draft • 12:11 PM

Tuan Wan Ahmad Fayhsal bin Wan Ahmad Kamal - Machang

Silakan Kota Bharu.

draft • 12:11 PM

Datuk Seri Takiyuddin bin Hassan - Kota Bharu

Saya berminat apa yang telah disebut oleh Yang Berhormat Machang, harapan supaya kerajaan mengambil langkah yang serius untuk mengatasi masalah ketirisan dan sebagainya. Saya melihat pada bulan Ogos tahun ini, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri telah membuat satu kenyataan, Kerajaan MADANI komited hapus kartel, tegas perangi penyeludupan dan rasuah. Jadi, pada pemerhatian Yang Berhormat, langkah ini telah dibuatkah sekarang ini? Kartel dan rasuah ini. Terima kasih.

draft • 12:11 PM

Tuan Wan Ahmad Fayhsal bin Wan Ahmad Kamal - Machang

Terima kasih Yang Berhormat Kota Baharu. Masukkan ucapan beliau dalam ucapan saya.

Saya rasa benda ini belum diselesaikan. Maknanya reformasi dilaungkan oleh Tambun, belum sepenuhnya diselesaikan. Saya ambil contoh mudah. Pandan, ha alhamdulillah Pandan ada dekat sini. Pandan dah beri amaran dalam Dewan ini berkenaan dengan bekas Mantan Setiausaha Politik Tambun yang baru-baru ini dikatakan dalam akhbar, mendapat kontrak yang baru untuk beri perolehan pasport dan juga IC kita, ya. Apakah ada — bagaimana tender terbuka dibuat di dalam KDN dan sebagainya? Adakah itu dijawab? Pandan pun mendakwa individu tersebut boleh menjadi liabiliti kepada Kerajaan MADANI kerana bersikap seperti Jho Low. Ini perkara yang saya rasa LKAN kena tengok teguran daripada Pandan. Orang dalam Kerajaan MADANI yang lebih faham berbanding kita yang di luar ini. Jadi, saya harap ini diambil maklum.

Tuan Yang di-Pertua, ada banyak isu-isu melibatkan kepentingan rakyat, tapi banyak juga yang tidak ditangkap dan diaudit dan dilaporkan oleh LKAN kepada kita.

Antara yang saya kesal tidak dimasukkan dalam laporan ini ialah berkenaan dengan penswastaan MAHB. Kerajaan MADANI janji dengan adanya rakan kongsi yang baru seperti GIP, BlackRock yang pro-Zionis, lapangan terbang kita bakal ditadbir dengan lebih baik. Tapi lihat dalam beberapa bulan sebelum ini, apa yang berlaku dengan aerotrain kita?

PESTECH diberikan kontrak yang sama, beberapa kali gagal. Lapangan- lapangan terbang di Sabah yang mana Beluran maklumkan bocor, apanya di sana akibat pelbagai penyelenggaraan yang tidak dibuat dengan baik. Jadi kami tidak nampak, rakyat tidak nampak di mana logik dan added value dengan izin, penswastaan MAHB kepada Zionis BlackRock, GIP ini membantu memudahkan menaik taraf lapangan terbang negara kita. Kenapa LKAN tidak bawa perkara ini dalam laporan? Sebab kamu dah janji kepada rakyat, ia nya membantu, tapi tidak membantu sebenarnya.

Dalam laporan ini juga dijelaskan kelemahan ketara tadbir urus Kementerian Dalam Negeri dalam soal projek keselamatan di Pulau Mabul yang lewat hampir 10 tahun. Cara pekerja di tapak dan kawalan kontraktor yang lemah. Kami bimbang, rakyat bimbang dengan adanya sikap sebegini, ia nya juga mungkin boleh menjejaskan banyak lagi projek-projek lain di bawah KDN.

Pada hari ini, kita dikejutkan dengan laporan yang dikeluarkan oleh FIFA berkenaan dengan pemalsuan dokumen pemain-pemain yang di naturalisasi. Saya tak salahkan orang yang memberi identifikasi, cadangan. Kita dah pernah buat sebelum ini, Sumareh, Mat Don, semua lepas tak ada masalah tetapi kenapa JPN membenarkan dokumen palsu di-submit kepada FIFA? Ini memalukan negara, maruah Malaysia tercalar. Jadi, kelemahan apa yang perlu kita tengok dalam KDN ditegur ini? Ini antara yang saya nampak yang diterjemahkan dalam LKAN, there is a glaring weaknesses in KDN with regard to governance.

Jadi, saya minta Laporan Ketua Audit Negara ini ditambah baik dan kita perlu pastikan setiap satu sen dibelanjakan kepada rakyat, benar-benar mencapai dan sampai kepada rakyat bukan kepada kroni. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.

draft • 12:11 PM

Dato’ Indera Mohd Shahar bin Abdullah - Paya Besar

Terima kasih Yang Berhormat Machang. Berikutnya Yang Berhormat Pasir Gudang, tetapi saya lihat Yang Berhormat Pasir Gudang tiada dalam Dewan. Saya beralih kepada Yang Berhormat Temerloh, lapan minit.

draft • 12:20 PM

Puan Hajah Salamiah binti Mohd Nor - Temerloh

Terima kasih kepada Yang di-Pertua. Saya bangun mewakili suara rakyat dan Perikatan Nasional untuk menyatakan kebimbangan serius terhadap dapatan dalam laporan Ketua Audit Negara 2025 yang jelas menunjukkan kelemahan ketara dalam pengurusan kewangan negara oleh Kerajaan Persekutuan hari ini.

Pertama, kutipan hasil nombor pendaftaran kenderaan, Kementerian Pengangkutan yang terlibat. Tuan Yang di-Pertua, apa yang berlaku di bawah Kementerian Pengangkutan sangat mengecewakan. Ribuan nombor pendaftaran kenderaan termasuk nombor khas telah dibida tetapi hasilnya tidak dikutip dari tahun 2022 hingga 2024. Menurut laporan audit, RM115.96 juta hasil negara hilang begitu sahaja akibat sistem bidaan yang longgar, tiada pemantauan, tiada mekanisme penguasaan.

Lebih RM15 juta iaitu 15 peratus daripada hasil bidaan nombor pendaftaran kenderaan tidak dikutip kerana kelemahan penguatkuasaan dan tiada pemantauan yang ketat. Sebanyak 20 peratus daripada nombor yang dibida tidak ditebus menyebabkan kerugian berjumlah jutaan Ringgit kepada negara. Saya ingin bertanya mengapa sistem ini tidak disertakan cagaran atau bayaran pendahuluan wajib seperti yang diamalkan negara lain? Adakah ada campuran tangan pihak berkepentingan dalam sistem bidaan nombor pendaftaran ini? Dan yang lebih penting, siapa yang akan bertanggungjawab atas kehilangan hasil ini?

Yang kedua, pengurusan kenderaan kerajaan. Konsesi Kementerian Kewangan. Kerajaan juga gagal mengurus aset kenderaan rasmi secara berhemah.

Laporan menunjukkan bahawa kerajaan telah membayar penuh kepada syarikat konsesi untuk kenderaan yang tidak diselenggara, tidak digunakan dan ada yang sudah luput tarikh. Berdasarkan pengiraan audit sehingga 31 Disember 2024, dianggarkan RM54.51 juta penalti boleh dikenakan kepada syarikat konsesi atas kelewatan pembekalan. Begitu juga kerugian yang dianggarkan RM28.79 juta ke atas kenderaan yang telah tamat tempoh pajakannya. Audit mendapati kerajaan membayar lebih RM25 juta setahun iaitu sekitar 18 peratus daripada kontrak tahunan kepada syarikat konsesi walaupun banyak kenderaan tidak digunakan dan penyelenggaraan tidak dilaksanakan mengikut kontrak.

Soalan saya, kenapa pembayaran diteruskan walaupun prestasi syarikat konsesi gagal? Siapakah syarikat konsesi ini? Adakah ini kroni politik atau individu yang mendapat projek tanpa keupayaan sebenar? Dan, adakah Kementerian Kewangan akan menilai semula perjanjian ini atau terus biarkan wang rakyat dibazirkan?

Ketiga, projek infrastruktur Kementerian Kerja Raya. Tuan Yang di-Pertua, bila kita lihat pula kepada projek-projek infrastruktur di bawah Kementerian Kerja Raya, nyata terdapat kelewatan projek, ketidakpatuhan spesifikasi dan pembayaran dibuat walaupun kerja tidak lengkap. Tambahan lagi, pembayaran bernilai RM50 juta dibuat walaupun kerja belum lengkap atau tidak mengikut spesifikasi. Saya ingin tahu, siapa meluluskan bayaran penuh kepada kontraktor sedangkan kerja belum siap? Adakah tindakan tegas diambil terhadap kontraktor yang gagal memenuhi syarat dan menyebabkan pembaziran RM50 juta?

Apa maksudnya? Ini bukan sekadar kelemahan pengurusan tetapi pembaziran terancang yang mengayakan kontraktor tetapi membebankan rakyat.

Saya ingin bertanya lagi, adakah kontraktor yang gagal di senarai hitam atau masih dapat projek seterusnya? Di mana pengawasan teknikal kementerian? Adakah pegawai penguasa projek telah tutup sebelah mata?

Yang keempat, pelan strategik Jabatan Audit Negara yang tidak jelas. Paling membimbangkan, Jabatan Audit Negara sendiri yang kita harap menjadi mata dan telinga rakyat masih belum ada pelan strategik yang kukuh dan menyeluruh. Ini kerana pada Mac 2021, mantan Ketua Audit Negara telah meluluskan pelan strategik Jabatan Audit Negara tahun 2021 berteraskan empat teras strategik menggerakkan hala tuju Jabatan Audit Negara. Soalnya, adakah tiada pindaan terhadap pelan strategik Jabatan Audit Negara? Adakah pelan strategik negara selari dengan KPI Ketua Audit Negara kini?

Tuan Yang di-Pertua, jika badan audit negara pun tidak ada hala tuju, tidak ada indikator prestasi yang jelas, bagaimana mereka ingin menilai dan menyiasat kementerian serta agensi lain? Saya ingin bertanya, adakah kerajaan menyediakan peruntukan dan kapasiti mencukupi kepada Jabatan Audit Negara atau ini disengajakan supaya mereka kekal lemah dan tidak mampu menyiasat dengan mendalam? Dan, siapakah yang memantau keberkesanan Jabatan Audit Negara sendiri?

Yang kelima, projek sakit Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, FELDA dan FELCRA. Projek infrastruktur tertangguh menyebabkan peneroka FELDA dan FELCRA tidak menerima manfaat sepatutnya. Lebih membimbangkan, FELCRA gagal membayar dividen tepat pada masanya pada pembeli sahamnya menyebabkan kerugian pendapatan lebih RM10 – pendapatan kepada lebih 10,000 peneroka dengan nilai terkumpul dividen tertangguh lebih RM12 juta. Saya ingin bertanya, apakah punca kegagalan pembayaran dividen ini yang menjejaskan pendapatan peneroka? Apakah langkah kementerian untuk memastikan dividen tertunggak dibayar segera?

Yang keenam, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan. Audit mendapati lebih 25 peratus projek perumahan rakyat tertangguh menyebabkan lebih 3,000 unit rumah terbengkalai bernilai RM450 juta gagal diserahkan tepat pada masanya. Terdapat juga kelemahan pengurusan tanah di peringkat kerajaan tempatan yang menyumbang kepada pembaziran tanah dan kegagalan pelaksanaan projek. Saya mahu kementerian menjelaskan bagaimana kementerian hendak menyelesaikan isu projek tertangguh melibatkan RM450 juta ini? Apakah tindakan tegas terhadap pengurusan tanah dan kontrak yang gagal?

Kementerian Pendidikan, yang ketujuh. Dalam sektor pendidikan, peruntukan sebanyak RM200 juta untuk pembangunan sekolah di luar bandar tidak diagih dengan cekap, menyebabkan kekurangan fasiliti di lebih 150 buah sekolah. Projek pembinaan sekolah pula mengalami kelewatan sehingga sembilan bulan menjejaskan proses pembelajaran. Saya ingin bertanya apakah rancangan kementerian untuk memperbaiki pengurusan peruntukan RM200 juta ini agar sampai ke sekolah yang memerlukan. Bagaimana kementerian memastikan projek pembinaan sekolah disiapkan tepat pada masanya?

Akhirnya, Tuan Yang di-Pertua, apa yang kita lihat dalam laporan audit 2025 ini adalah cerminan kegagalan pentadbiran kerajaan campuran hari ini dalam menjaga amanah rakyat. Hasil negara bocor, projek lewat, aset kerajaan disalah urus dan agensi pemantau pula tidak berfungsi sepenuhnya. Rakyat susah di bawah tetapi kebocoran kewangan terus berlaku tanpa tindakan tegas.

Sebagai wakil rakyat daripada Perikatan Nasional, saya mendesak siasatan menyeluruh terhadap semua dapatan audit, tindakan tegas terhadap pegawai dan kontraktor yang gagal, dan komitmen kerajaan untuk menstruktur semula sistem kawalan dalaman supaya tiada lagi wang rakyat dibazirkan dengan begitu sahaja.

Kerajaan perlu ingat, setiap sen yang hilang adalah hak rakyat dan kami di sini akan terus bersuara selagi penyelewengan tidak diperbetulkan. Sekian, terima kasih.

draft • 12:20 PM

Dato’ Indera Mohd Shahar bin Abdullah - Paya Besar

Terima kasih Yang Berhormat Temerloh. Berikutnya, Yang Berhormat Jelutong, lapan minit.

draft • 12:20 PM

Tuan Sanisvara Nethaji Rayer a/l Rajaji - Jelutong

Terima kasih Timbalan Speaker. Terlebih dahulu, sebelum saya memulakan perbahasan saya di atas Laporan Ketua Audit Negara, sebagai wakil rakyat negara ini saya ingin merakamkan ucapan tahniah dan gembira kerana telah dimaklumkan bahawa 23 aktivis yang telah pergi dalam pelayaran Global Sumud Flotilla akan kembali ke tanah air malam nanti.

[Tepuk] Dan, kita merakamkan juga ucapan penghargaan kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dan barisan kerajaan, menteri-menteri yang telah berjaya memastikan bahawa kesemua mereka kembali ke tanah air kita dengan selamat. Ini merupakan satu pengiktirafan pimpinan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri di dalam berjaya menangani masalah dan memastikan bahawa semua warganegara Malaysia yang telah ke Palestin kembali dengan selamat.

draft • 12:28 PM

Tuan Sanisvara Nethaji Rayer a/l Rajaji - Jelutong

Beralih kepada Laporan Ketua Audit Negara, saya ingin menyentuh beberapa perkara terutamanya berkenaan dengan laporan dibuat oleh Ketua Audit Negara berkenaan dengan kementerian-kementerian. Saya menerima dengan baik Laporan Ketua Audit Negara dan juga berterima kasih kepada kerajaan kerana Laporan Ketua Audit Negara ini bukan saja sekadar dibentangkan di Parlimen malahan diberi ruang dan peluang untuk kita bahaskan Laporan Ketua Audit Negara untuk kita memahami apakah kekurangan, ketirisan yang boleh kita baik pulih dan kita atasi pada masa yang akan datang.

Jadi, saya mendengar kritikan-kritikan yang dilemparkan oleh pihak pembangkang di sebelah sana berkenaan dengan pelbagai perkara, tetapi apa yang perlu kita lihat adalah dalam kerajaan yang ada sekarang kita diberi peluang. Kalau tak silap saya Timbalan Speaker, ini adalah kali ketiga atau kali keempat kita membahaskan Laporan Ketua Audit Negara di Dewan yang mulia ini. Ketelusan dan keterbukaan kerajaan untuk membahaskan Laporan Ketua Audit Negara menunjukkan bahawa kerajaan mempunyai kesungguhan dan mempunyai hati yang terbuka untuk menerima pelbagai kritikan bukan saja di sebelah sana, tetapi juga daripada sebelah sini untuk kita mengatasi apa-apa kekurangan atau ketirisan untuk kita memperbaiki kekurangan atau ketirisan pada masa akan datang.

Tanpa Laporan Ketua Audit Negara, saya percaya kita masih akan dibelenggu dengan masalah yang sama. Tetapi dengan Laporan Ketua Audit Negara, dengan peluang yang diberikan untuk kita bahaskan Laporan Ketua Audit Negara, kita diberi peluang yang lebih baik untuk memantapkan perkhidmatan kerajaan untuk memastikan bahawa kementerian-kementerian mengambil iktibar apa-apa kekurangan, ketirisan ataupun keperluan rakyat di mana keperluan-keperluan ini perlu diberi perhatian dari masa ke semasa.

Saya melihat contohnya Laporan Ketua Audit Negara berkenaan dengan kutipan cukai-cukai, hasil daripada pelbagai aktiviti. Di sini saya juga ingin menyatakan bahawa Laporan Ketua Audit Negara ini telah merangkumi pelbagai perkara dan saya tertarik juga dengan Laporan Ketua Audit Negara berkenaan dengan kutipan wang hasil daripada penjualan nombor-nombor kenderaan.

Baru-baru ini, saya ingin menarik perhatian Dewan yang mulia ini, kita berterima kasih kepada Menteri Pengangkutan yang telah membuat satu pendedahan mengejut berkenaan dengan kenderaan-kenderaan mewah yang dibeli tetapi tidak dibayar cukai jalan dan saya membaca kenyataan yang dibuat oleh Menteri Pengangkutan. Saya difahamkan ini adalah pecahan yang diberikan.

Terdapat jumlah 345 kenderaan Rolls-Royce yang dimiliki oleh individu dan VIP.

Jumlah cukai jalan yang tidak dibayar RM6.4 juta. Terdapat 372 kenderaan Lamborghini yang dimiliki oleh individu di negara kita, jumlah cukai jalan yang tidak dibayar adalah RM3.7 juta. Terdapat 660 kenderaan Bentley yang dimiliki oleh individu-individu. Jumlah cukai jalan yang tidak dibayar RM7 juta. Terdapat 675 jenis kenderaan Ferrari, cukai jalan yang tidak dibayar RM4.7 juta. Terdapat 4,308 unit kenderaan Porsche, cukai jalan yang tidak dibayar adalah RM13.7 juta.

Persoalannya adalah bagaimana Jabatan Pengangkutan Jalan telah membenarkan kenderaan-kenderaan ini didaftar dan digunakan di negara kita tanpa dibayar sebarang cukai? Jadi, saya tertarik dengan pendedahan yang dibuat oleh Menteri Pengangkutan. Saya sebut kerana walaupun Laporan Ketua Audit Negara tidak menyentuh perkara ini, Menteri Pengangkutan telah membuat pendedahan ini yang mengejutkan semasa salah satu sidang akbar baru-baru ini. Jadi, saya juga ingin menarik perhatian kepada kementerian-kementerian, agensi-agensi penguat kuasa supaya pemilik-pemilik kenderaan ini diambil tindakan.

Saya menggunakan kesempatan ini juga untuk merayu kepada Kementerian Pendidikan supaya tidak melupakan projek-projek melibatkan sekolah-sekolah Tamil yang masih lagi belum disempurnakan. Saya datang daripada Pulau Pinang Timbalan Speaker, dan tiap-tiap kali saya bangun, saya masih mengingatkan Dewan yang mulia ini supaya tidak melupakan dengan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Sungai Bakap di Pulau Pinang yang belum sempurna dibina kerana janji Timbalan Perdana Menteri I ketika kempen Sungai Bakap tahun lalu adalah sekolah ini akan dibina dan disempurnakan sebelum pilihan raya yang akan datang.

Pada masa yang sama, dalam kesempatan yang telah diberikan kepada saya, ingin juga saya bangkitkan di sini dan mengingatkan Dewan yang mulia ini dan kerajaan tentang masalah yang dihadapi oleh Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Jeram di Pahang dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Katumba di Kedah di mana sekolah-sekolah ini masih lagi menghadapi masalah dan perlu diberi perhatian kerana saya percaya sekolah-sekolah ini merupakan sekolah-sekolah atau projek-projek yang tersenarai di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia yang dinyatakan dalam Laporan Ketua Audit Negara. Terima kasih di atas kesempatan diberikan. Salam perpaduan, salam Malaysia MADANI.

draft • 12:30 PM

Dato’ Indera Mohd Shahar bin Abdullah - Paya Besar

Terima kasih Yang Berhormat Jelutong. Ahli-ahli Yang Berhormat, ya...

draft • 12:30 PM

Dato’ Sri Dr. Haji Ismail bin Abd Muttalib - Maran

Dato’ Yang di-Pertua, mohon izin. Sebelum Tumpat bercakap.

draft • 12:30 PM

Dato’ Indera Mohd Shahar bin Abdullah - Paya Besar

Ya.

draft • 12:30 PM

Dato’ Sri Dr. Haji Ismail bin Abd Muttalib - Maran

Saya nak mengalu- alukan selamat datang kepada guru-guru dan kurang lebih 48 orang pelajar...

draft • 12:30 PM

Dato’ Indera Mohd Shahar bin Abdullah - Paya Besar

Yang Berhormat.

draft • 12:30 PM

Dato’ Sri Dr. Haji Ismail bin Abd Muttalib - Maran

...Daripada Sekolah Menengah Jengka 6 Maran, Pahang.

[Tepuk] Terima kasih.

draft • 12:30 PM

Dato’ Indera Mohd Shahar bin Abdullah - Paya Besar

Ya. Yang Berhormat, peraturan mesyuarat tidak membolehkan Yang Berhormat lakukan sedemikian. Saya kira Yang Berhormat sepatutnya berbincang dengan Yang Berhormat Tumpat untuk mengalu-alukan. Saya ingat petua telah diberikan oleh Tan Sri Speaker. Tapi tak apa, saya benarkan, tetapi jangan buat lagi masa yang akan datang.

Ahli-ahli Yang Berhormat, sebelum saya memanggil Yang Berhormat Tumpat, saya minta jasa baik Ahli-ahli Yang Berhormat. Saya tidak menghalang Ahli Yang Berhormat untuk berinteraksi dalam Dewan, tetapi kalau saya berada di sini saya masih mendengar butiran Yang Berhormat bersembang atau berinteraksi, saya kira itu mengganggu Dewan.

Saya minta kerjasama Ahli-ahli Yang Berhormat untuk memastikan pembahas-pembahas tidak terganggu dengan suara Yang Berhormat yang agak tinggi sehingga saya berada di sini pun dengar. Saya harap Yang Berhormat faham, ya. Kita mesti menghormati ketika Ahli-ahli Yang Berhormat sedang membahas.

Sila, saya menjemput Yang Berhormat Tumpat.

draft • 12:30 PM

Dato’ Mumtaz binti Md Nawi - Tumpat

Assalamualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh. Terima kasih Yang di-Pertua. Laporan Ketua Audit Negara siri ini mengangkat beberapa isu rentas kementerian yang menyentuh nilai untuk wang, tadbir urus aset serta keberkesanan dasar. Saya tumpukan kepada enam kluster kementerian selaras dengan kepentingan rakyat di Pantai Timur dan juga nasional.

Dan saya juga menyambut baik, insya-Allah, kehadiran dan pulangnya kembali rombongan daripada Sumud Flotilla yang akan sampai malam ini dan itu merupakan satu kelegaan. Bagi pihak wanita, saya ucapkan tahniah kepada semua wanita yang terlibat dalam Sumud Flotilla yang telah pun membela rakyat Gaza di Palestin.

Yang pertama berkaitan dengan Kementerian Pengangkutan. Nombor pendaftaran kenderaan dan hala tuju mobiliti negara. Apakah dasar terkini kerajaan menyeimbangkan keinginan hasil jangka pendek iaitu seperti pungutan daripada nombor pendaftaran khas dengan matlamat jangka panjang mobiliti rendah karbon?

Apakah fokus semasa secara de facto menggalakkan [Tidak jelas] individu berbanding memperkukuhkan pengangkutan awam massa?

Saya minta penjelasan khusus berkenaan dengan dapatan audit tentang jumlah hasil tambahan, bilangan kes yang diselesaikan oleh Jawatankuasa Khas Nombor Pendaftaran, senarai keanggotaan dan kos pentadbiran jawatankuasa tersebut. Ini menyentuh keperluan, ketelusan dan perkaitan kos faedah kepada rakyat.

Yang kedua berkaitan dengan kenderaan juga iaitu caj lintas sempadan Malaysia-Thailand. Kita dapati dalam cuti baru-baru ini lebih daripada 100 juta telah pun disumbangkan oleh rakyat Malaysia ke Thailand dan kebanyakannya masuk menggunakan kenderaan. Apakah struktur bayaran keluar masuk kenderaan Malaysia di sempadan dan adakah kerajaan bercadang untuk membuat semakan kadar serta perkongsian data merentas agensi untuk menutup kebocoran serta memastikan kita juga mendapat hasil daripada perdagangan rentas sempadan rakyat Malaysia dan juga Thailand kerana kita lihat hari ini berlaku hanya satu hala, bukan dua hala yang berlaku.

draft • 12:38 PM

Dato’ Mumtaz binti Md Nawi - Tumpat

Yang ketiga, kenderaan di bawah konsesi kerajaan. Kos sewaan dan penyelenggaraan konsesi mencecah RM1.750 bilion menuntut penilaian nilai untuk wang. Berapakah syarikat yang terlibat, berapa unit kenderaan? Apakah analisis kos faedah berbanding pilihan pembelian terus ataupun hibrid sewa beli? Kerana kita lihat kos ini sangat tinggi jumlahnya.

Yang kedua berkaitan dengan Kementerian Kerja Raya iaitu status 33 lebuh raya yang ada di Malaysia. Bagaimanakah status jalan Lebuhraya Timur-Barat?

Benarkah ia nya bukan lagi di bawah status lebuh raya? Dan sekiranya masih lagi lebuh raya, berapakah peruntukan penyelenggaraan khususnya yang kita lihat perlu kepada suatu penambahbaikan dan penyelenggaraan yang utama kerana melibatkan ekonomi di antara Pantai Timur dan Pantai Barat?

Saya juga ingin sekali lagi menyentuh, bila menyebut tentang lebuh raya ini, tentang keperluan rakyat Pantai Timur untuk menunggu LPT3. Apa pun audit yang kita buat, ia nya untuk kebaikan rakyat. Jadi, kalau audit ini tidak mampu untuk memberikan suatu dapatan bagi menyatakan bahawa keperluan untuk Lebuhraya Pantai Timur ini satu benda yang penting ― kerana ia bukan saja hanya menyelesaikan isu mobiliti, tapi juga sebagai cara untuk mitigasi banjir dan keselamatan sepanjang jajaran terutama musim monsun sekarang ini.

Yang seterusnya berkaitan dengan Kementerian Dalam Negeri iaitu berkaitan kos rawatan dan kesihatan awam berkaitan PATI. Kita dimaklumkan tentang beberapa kos berkaitan dengan rawatan untuk PATI. Soalan saya ialah apakah juga diaudit perakaunan kos vaksinasi dan advokasi yang melibatkan wanita dan kanak- kanak PATI? Adakah ia dimasukkan dalam akaun perubatan awam? Nyatakan kos perbelanjaan, jumlah penerima dan hasil kesihatan utama.

Hari ini kita lihat bila banyak berlaku PATI dan juga migrasi, terdapat tingginya kes-kes melibatkan TB. Apakah kita melihat perlunya kepada satu audit khas berkenaan dengan kemasukan imigran yang tidak mempunyai rekod vaksinasi daripada negara asal serta tindakan rentas sempadan yang dibuat bersama dengan KKM? Kerana, kita perlukan angka ini kerana ia memerlukan kadar penyasaran dan juga liputan langsung secara jangka pendek dan juga panjang kepada warganegara kita dan juga kepada pihak PATI ini.

Begitu juga dengan kita lihat bagaimana kerajaan dalam membuat audit tentang perkara ini perlu melihat kepada pelan pendidikan kesihatan bersilibus untuk menapis risiko, saringan awal dan literasi kesihatan bagi komuniti imigran serta komuniti setempat yang berisiko. Adakah dalam hal ini kita membuat kerjasama dengan NGO tempatan ataupun luar negara dan mendapat pembiayaan luar?

Setakat manakah MOU dengan NGO tempatan dan antarabangsa untuk menanggung kos vaksinasi? Kerana kita tahu kos ini tinggi dan sebelum ini kita dimaklumkan hanya Qatar yang membantu Malaysia dalam usaha ini.

Berkaitan dengan aset maritim dan juga sempadan. Kita lihat kebanyakan kos yang dihabiskan oleh kerajaan meliputi 61.7 peratus adalah kos untuk kapal- kapal yang melebihi usia 30 tahun. Jadi, apakah ― kita ingin tanya kepada kerajaan, apakah jumlah tahun yang viable untuk kapal-kapal ini ditanggung serta modelnya?

Kerana kita lihat ia nya memberikan kesan besar kepada negara dari segi dasar kita untuk usia ekonomi bagi aset-aset dan pelan penggantian bertahap terutama melibatkan maritim. Saya juga ingin bertanya tentang berapakah angka bilangan bot pengawal yang beroperasi di Pantai Timur, kadar kesiapsiagaan terutamanya untuk mengawasi musim monsun sekarang?

Berkenaan dengan Kementerian Luar Negeri. Saya lihat satu audit nyata telah pun dibuat untuk perwakilan di Australia, Vietnam, Singapura dan New Zealand.

Saya ingin menyatakan beberapa perkara yang disebut sendiri oleh pihak kakitangan di sana termasuklah adakah kita mempunyai dasar untuk memastikan bahawa kakitangan sokongan seumpama tukang masak mestilah dibawa daripada kalangan rakyat Malaysia supaya garis panduan penempatan kos yang efektif tidak menjejaskan kualiti dan autentik makanan asal dan rasmi negara kita.

Yang kedua, hak bekerja untuk pasangan pegawai. Kalau yang wanita, mungkin dapat. Tapi, bagaimanakah sekiranya pegawai itu perempuan? Adakah suami juga akan mendapat keanjalan untuk mereka ini boleh bekerja di luar negara untuk mengiringi isteri?

Yang ketiga, untuk memastikan bahawa sebarang bahan yang akan dipamerkan di mana-mana pejabat kedutaan mestilah mewakili kepelbagaian negeri dalam negara kita dan menggambarkan identiti Malaysia. Kita lihat bila kita pergi ke sana, banyak lagi gambar-gambar yang lama yang tak di-update dan perlu sebenarnya sumbangan daripada pelbagai negeri untuk kepentingan duta-duta ini.

Seterusnya dari segi bajet pemantauan dan renovasi bangunan kedutaan.

Banyak kedutaan yang kita pergi kita lihat banyak juga yang bocor yang memerlukan suatu bantuan daripada pihak kerajaan bagi memastikan imej negara kita baik di mata dunia. Kerana, kita sebenarnya negara yang cakna kepada kakitangan kita dalam atau pun luar negara.

Seterusnya berkaitan dengan Kementerian Pendidikan. Kita lihat ada kenaikan enam peratus untuk Bantuan Awal Persekolahan serta peruntukan makan dan minum supaya ia nya selari dengan keperluan kos semasa. Namun, kita lihat dari segi promosi makanan sihat tempatan tidak terurus. Iklan dan pembukaan rangkaian makanan segera semakin rancak.

Jadi, daripada audit ini, sepatutnya polisi di antara kementerian dan swasta mesti menyeluruh. Mesti memastikan standard menu sihat di kalangan kanak-kanak dalam media massa dan juga dalam praktikal dari segi iklan-iklan yang bertanggungjawab untuk kanak-kanak dan insentif kepada pembekal makanan sihat tempatan.

Yang kedua, berapakah bajet yang diberikan oleh kerajaan daripada laporan audit ini supaya ― contohnya, Institut Kesihatan Negara, supaya mereka boleh memberikan pendidikan kesihatan bagi menyediakan penyelidikan intervensi nutrisi sekolah serta pelan pendidikan makanan keluarga.

Dan yang ketiga, kita lihat bukan hanya di luar tetapi di Parlimen sendiri pun makanan yang dijual di kafe-kafe dan juga di kantin tidak menggambarkan makanan yang sihat. Kerana, contohnya kalau minta air buah, yang diberikan adalah air buah segera, bukan air buah yang organik. Jadi, ini paling penting dan perlu ada traffic light labeling supaya pengguna maklum risiko.

Dan yang terakhir berkenaan dengan Kementerian Pembangunan Wanita.

Kita lihat ada subsidi yuran pengasuhan taman asuhan kanak-kanak. Walaupun begitu, kita lihat angka yang dikemukakan adalah 5.6 juta, kelihatan terlalu kecil berbanding keperluan sebenar wanita yang bekerja ataupun keluarga yang bekerja.

Kita mohon semakan daripada audit ini supaya diberikan keutamaan dan pertambahan bagi subsidi ini kerana kita tidak mahu ― sekarang ini kerajaan hanya memberikan, hanya satu anak kepada satu pasangan. Sepatutnya memenuhi semua anak kerana ini memerlukan penjagaan semua.

Dan kita memerlukan ― semalam dibincangkan tentang laporan daripada JKPK Wanita tentang keperluan kepada satu agensi dan juga akademi pengasuhan kanak-kanak negara yang mempunyai skala latihan pengasuh standard dan dapat mengeluarkan pengasuh dalam kadar yang tinggi. Sebab, apa pun dapatan daripada audit, ia adalah untuk kepada negara untuk jangka masa panjang. Sekian, terima kasih.

draft • 12:40 PM

Dato’ Indera Mohd Shahar bin Abdullah - Paya Besar

Terima kasih Yang Berhormat Tumpat. Yang Berhormat Pasir Gudang, lapan minit.

draft • 12:40 PM

Tuan Hassan bin Abdul Karim - Pasir Gudang

Terima kasih Tuan Timbalan Yang di-Pertua. Assalamualaikum kepada semua dan salam sejahtera.

Terima kasih kerana memberi peluang kepada Pasir Gudang turut membahaskan Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan Tahun 2024.

Saya nak mengucapkan tahniah kepada keberanian Kerajaan Persekutuan yang bukan saja membentangkan laporan ini atas meja kita, tapi kita turut bahas.

Apa yang sedang kita lakukan ini adalah satu proses semak dan imbang melibatkan semua Ahli Parlimen pembangkang dan kerajaan seperti doktor yang melakukan post-mortem. Ini adalah perbelanjaan bagi tahun 2024 yang Parlimen ini telah luluskan pada tahun 2023.

Yang kedua, saya juga mengalu-alukan dan ucap tahniah kepada kerajaan kerana Penyata Kewangan 2024 ini dibentangkan mengikut Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023. Jadi, nampaknya bahawa kita berada di landasan yang betul dalam pengurusan kewangan negara.

Tuan Speaker, saya ingin membentangkan satu perkara sahaja iaitu muka surat 19, carta 4 dan carta 5 tentang Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan 2024 iaitu pecahan mengenai hasil Kerajaan Persekutuan.

Pada tahun 2024, hasil Kerajaan Persekutuan meningkat berbanding tahun sebelumnya 2023. Kalau tahun 2023, sebanyak RM314,959 ― RM314 bilion lebih, tapi tahun 2024 meningkat kepada RM324.6 bilion. Ini sangat-sangat baik. Maknanya hasil bertambah dan yang jelas bertambah itu ialah hasil cukai yang meningkat.

draft • 12:47 PM

Tuan Hassan bin Abdul Karim - Pasir Gudang

Jadi, berkaitan dengan ini, bukanlah satu rahsia dalam belanjawan negara kita, sejak tahun 1974, syarikat petroleum negara, PETRONAS menyumbangkan berpuluh-puluh bilion setiap tahun. Saya ada angka di sini. Sejak 1974 sehinggalah sekarang, dimaklumkan sebanyak 403.3 bilion PETRONAS sumbangkan kepada Kerajaan Persekutuan untuk bajet tahunan itu. Contohnya pada tahun 2008 sahaja, sebanyak 67.6 bilion disumbangkan. Pada tahun 2008 itu, 44 peratus hasil negara untuk belanjawan itu datang daripada PETRONAS.

Jadi Tuan Speaker, saya tengok-tengok penyata kewangan ini yang tebal ini, tak ada pun sebut nama PETRONAS. Kalau ada, mungkin Menteri boleh tunjukkan saya muka surat yang mana.

Saya nak tanyalah, bagi Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan Tahun 2024, berapa banyak dividen yang PETRONAS telah beri kepada Kerajaan Persekutuan untuk belanjawan negara tahun 2024? Tahun ini 2025, berapa banyak PETRONAS telah bagi? Ini Menteri, tolonglah kongsi. Ini bukan OSA. Ini kita beritahu.

Ini saya nyatakan kerana kebimbangan saya tentang nasib PETRONAS sebagai sebuah syarikat petroleum negara iaitu PETRONAS ini kalau dalam bahasa Melayu disebut macam, “angsa bertelur emas.” Menyumbangkan untuk bantu kita.

Bukan untuk Malaya, bukan untuk Persekutuan Tanah Melayu, tetapi untuk Malaysia keseluruhannya dan kita agih-agihkan dalam belanjawan ini untuk semua negeri dan wilayah dalam Malaysia ini.

Apa yang saya khuatirkan, sekarang telah sampai ke mahkamah.

Pertarungan dari segi — di mahkamah antara PETROS, syarikat Petroleum Sarawak dengan PETRONAS. Ini macam pertarungan adik-beradik dalam keluarga, dua syarikat. Jadi, benda ini sedang berjalan, berada di Mahkamah Tinggi Kuching dan saya tidak berhasrat untuk pergi lebih lanjut tentang perkara itu.

Ini persoalannya bukan persoalan undang-undang saja. Ini menyangkut tentang federalism. Ertinya kalau kita tidak uruskan ini dengan baik-baik, maka akan menjejaskan kedudukan PETRONAS itu. Ertinya sekarang ini kita kena memikirkan.

Kita faham kuasa negeri di bawah federalism ini, tetapi kita juga perlu memikirkan kelangsungan nasional sebagai sebuah negara bangsa, sebuah negara ini.

Iaitu saya berharap, maknanya di Parlimen ini, saya minta supaya Perdana Menteri sebagai Menteri Kewangan, dedahkan kepada Ahli Parlimen apakah persetujuan atau declaration yang telah dicapai oleh Perdana Menteri Kerajaan Persekutuan dengan Premier Sarawak yang menyangkut tentang kedudukan PETRONAS dan PETROS ini, untuk makluman semua Ahli Parlimen di sini supaya sama-sama kita tanggung, sama-sama kita selesaikan. Tidak boleh perkara yang syarikat yang begitu besar berjasa pada negara ini, hanya dua individu saja yang terlibat.

Ertinya, saya rasa OSA tidak diguna pakai dalam ini. Parlimen yang membuat PDA, Akta PETRONAS itu, maka Parlimen ini berhak untuk ada akses tentang persetujuan dua pemimpin, Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri itu. Sekian, terima kasih Tuan Speaker.

draft • 12:50 PM

Dato’ Indera Mohd Shahar bin Abdullah - Paya Besar

Terima kasih, Yang Berhormat Pasir Gudang. Yang Berhormat Jempol, lapan minit.

draft • 12:50 PM

Dato’ Haji Shamshulkahar bin Mohd Deli - Jempol

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan juga salam Malaysia MADANI.

Terima kasih saya ucapkan kepada Dato’ Yang di-Pertua atas ruang yang diberikan kepada saya untuk turut membahaskan Laporan Ketua Audit Negara Siri 3/2025 yang telah memperincikan dapatan-dapatan penting untuk dijadikan sebagai pedoman kepada Kerajaan MADANI hari ini.

Dato’ Yang di-Pertua, menggusarkan kerana perkara yang nak saya bincangkan ini melibatkan aspek keselamatan dan juga kedaulatan negara. Itulah reaksi awal saya setelah menelaah, meneliti dapatan Laporan Ketua Audit Negara mengenai realiti Projek Pangkalan Operasi Hadapan atau Forward Operation Base di Pulau Mabul, Semporna, Sabah.

Kegagalan syarikat kontraktor pelaksana untuk menyiapkan projek yang telah diluluskan di bawah Rolling Plan Kedua Rancangan Malaysia Kesebelas, dikhuatiri boleh menjejaskan komitmen tugas para anggota kawalan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) yang dimandatkan dengan amanah untuk menjaga Zon Keselamatan Sabah Timur iaitu ESSZone sejak ditubuhkan pada tahun 2013.

Dato’ Yang di-Pertua, persoalan besar yang saya ingin bangkitkan dalam perbahasan saya ini ialah apakah kelebihan perbandingan atau comparative advantage yang dimiliki oleh syarikat 762935-D berbanding 16 calon syarikat kontraktor yang turut berada dalam senarai permohonan bagi tender terbuka pra- kelayakan? Apakah justifikasi serta asas penilaian asal yang telah dibuat oleh lembaga perolehan pada 11 Ogos 2020 sehingga boleh meluluskan pelantikan sebuah entiti pelaksana yang kemudiannya terpaksa berkompromi tentang disiplin kerja akibat masalah kewangan?

Kepincangan projek FOB ini secara tidak langsung memberi kesan domino kepada kelancaran operasi pengawalan ESSZone yang sentiasa berdepan dengan pelbagai cabaran serta senario yang memerlukan kesiagaan rapi ESSCOM.

Komitmen membendung jenayah maritim yang beraneka ragam bukan sahaja memerlukan pengendalian operasi yang cekap dan berkesan, malah ia juga didorong oleh keadaan infrastruktur kerja serta persekitaran kediaman para anggota yang kondusif.

Dato’ Yang di-Pertua, secara hipotesisnya, kelewatan projek FOB yang sepatutnya siap pada 16 November 2024, sedikit sebanyak boleh merencatkan pelan operasi kawalan ESSZone yang sudah tentu melibatkan keperluan penempatan anggota — sejumlah anggota ESSCOM. Soal penempatan anggota ESSCOM merupakan perkara mustahak dalam hal ehwal keselamatan perairan, memandangkan nisbah anggota kepada risiko ancaman perlu diambil kira dalam memuktamadkan penempatan anggota tanpa mengabaikan aspek kebajikan mereka.

Itu sebab Jempol memilih FOB di Pulau Mabul ini sebagai bahan perbahasan, tajuk perbahasan saya kerana ia melibatkan aspek yang sangat penting untuk keselamatan dan juga kedaulatan negara kita. Bukan itu sahaja, kegagalan syarikat tersebut untuk mencapai peratusan kerja siap mengikut program kerja telah mendatangkan liabiliti kepada kerajaan yang terpaksa menanggung penambahan kos siling projek sebanyak RM28.7 juta. Penambahan kos siling tersebut boleh memberi implikasi kewangan jangka panjang kepada Kementerian Dalam Negeri yang perlu memanfaatkan sebaik-baik setiap ringgit peruntukan pembangunan mengikut perancangan yang dikhususkan bagi satu-satu projek.

Dato’ Yang di-Pertua, justeru, setiap pihak yang terlibat dalam menjayakan projek FOB ESSZone di Pulau Mabul ini perlu menjadikan syor-syor audit yang dikemukakan dalam LKAN sebagai teguran yang membina bagi meneruskan saki- baki projek yang perlu disiapkan mengikut jadual. Syor audit 7.6 berkenaan pelantikan kontraktor penyiap perlu ditekankan oleh pihak kerajaan agar kredibiliti syarikat yang akan dipilih, benar-benar dinilai dengan rasional tanpa prejudis.

Akhir kata Dato’ Yang di-Pertua, saya mengharapkan agar segala perancangan pembangunan yang direncanakan seperti yang saya sebut tadi khusus di pantai timur negeri Sabah dan juga di semua negeri-negeri dalam negara kita dapat diteruskan dengan lebih teratur selepas ini, tidak kira siapa yang menggalas mandat sebagai pentadbir. Apa yang penting adalah kredibiliti dan integriti kepimpinan yang bukan sahaja mendahulukan kemakmuran negeri, malah menitikberatkan kemaslahatan rakyat.

Jadi, Jempol mengucapkan syabas tahniah kepada LKAN atas laporan ini dan juga atas keberanian pihak kerajaan, kita membahaskan Laporan Ketua Audit Negara di Dewan yang mulia ini untuk memastikan segala urus tadbir, lebih-lebih dalam melibatkan peringkat perolehan betul-betul berjalan mengikut landasan sebagaimana yang telah ditetapkan oleh peraturan yang telah ditetapkan.

Jadi dengan itu, itu sajalah perbahasan daripada Jempol. Terima kasih.

draft • 12:55 PM

Dato’ Indera Mohd Shahar bin Abdullah - Paya Besar

Terima kasih Yang Berhormat Jempol.

Ahli-ahli Yang Berhormat, masa telah menunjukkan jam 1.02 petang, Dewan akan ditangguhkan dan akan bersidang semula pada jam 2.30 petang.

draft • 12:55 PM

[Mesyuarat ditempohkan pada pukul 1.02 tengah hari]

[Mesyuarat disambung semula pada pukul 2.30 petang]

Dato’ Indera Mohd Shahar bin Abdullah - Paya Besar

[Timbalan Yang di-Pertua (Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor)

draft • 2:30 PM

mempengerusikan Mesyuarat] Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor

[Membaca doa] Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum dan selamat petang Yang Berhormat-Yang Berhormat.

Sukacita dimaklumkan bahawa hadir bersama kita di Dewan yang mulia ini ialah Delegasi dari National Assembly Service Commission of Nigeria yang diketuai oleh Honourable Saviour Enyiekere, Executive Chairman of the National Assembly Commission of Nigeria bersama delegasinya.

[Tepuk] Kepada Honourable Saviour Enyiekere dan delegasi, Dewan ini mengalu- alukan kehadiran Tuan dan delegasi ke Dewan Yang Mulia ini. Semoga dengan kehadiran Tuan dan delegasi yang akan mengukuhkan lagi tali persahabatan dan hubungan di antara Malaysia dan Nigeria.

Yang Berhormat-Yang Berhormat, kita mula balik dengan perbahasan kita dan apa yang saya dimaklumkan berikut dipersilakan Yang Berhormat Jerlun untuk membahas, lapan minit.

draft • 2:30 PM

Dr. Haji Abd Ghani bin Ahmad - Jerlun

*Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.* Tuan Yang di-Pertua, Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan 2024 yang dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Bilangan 3 2025, Jerlun ingin menyentuh dua isu sahaja. Isu pertama liabiliti kewangan, isu yang kedua adalah Akaun Belum Terima hasil (ABT).

Isu pertama liabiliti kewangan. Jerlun mendapati liabiliti kerajaan bagi tahun 2024 berjumlah RM1.578 trilion berbanding RM1.492 trilion bagi tahun 2023.

Daripada liabiliti tersebut hutang Kerajaan Persekutuan bagi tahun 2024 berjumlah RM1.248 trilion berbanding tahun 2023 berjumlah RM1.13 trilion. Berlaku peningkatan sebanyak RM0.075 trilion atau 75,000 juta berbanding liabiliti yang lain.

Persoalan saya di sini ialah pertama, sejauh manakah, sektor manakah yang mendorong kerajaan terpaksa membuat pinjaman untuk membiayainya? Kedua, adakah pinjaman ini untuk perbelanjaan pembangunan terdahulu sama ada dalam RMKe-11 atau RMKe-12 yang masih belum habis dilaksanakan atau projek terkini seperti pembinaan Kota MADANI jika menggunakan dana kerajaan atau melangsaikan tunggakan hutang yang terakru?

Isu yang kedua Akaun Belum Terima hasil (ABT). Tahun 2024, ABT hasil sebanyak RM44.554 bilion berbanding tahun 2023 sebanyak RM39.515 bilion.

Dalam tempoh dua tahun sahaja Akaun Belum Terima hasil ini meningkat dengan ketara iaitu RM5.039 bilion ataupun 12.8 peratus. Laporan ini turut menyebut tiga kementerian tertinggi yang menyumbang kepada ABT hasil 2024 iaitu pertama, Kementerian Kewangan (MOF) berjumlah RM43.485 bilion atau 97.6 peratus. Dalam MOF ini Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) paling tinggi iaitu RM40.389 bilion.

Kedua, Jabatan Perdana Menteri (JPM) berjumlah RM463.21 juta atau 1.0 peratus yang mana Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dengan ABT hasilnya berjumlah RM352.52 juta. Ketiga, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berjumlah RM358.89 juta atau 0.8 peratus. Dalam hal ini saya merujuk kenyataan dalam portal Pejabat Perdana Menteri bertarikh 6 Mac 2025 bertajuk, “Siasat Individu, Syarikat Elak Bayar Cukai.” PM Anwar.

Perdana Menteri menyebut, “Selagi saya diberi amanah memimpin kerajaan, saya mahu rakyat sama ada golongan peniaga kecil atau maha kaya tunduk kepada hukum dan tidak terlepas daripada membayar cukai pendapatan. Saya beri gesaan ini supaya jangan ada orang fikir sama ada kenalan saya atau tidak, penyokong saya atau tidak, cukai wajib bayar dan Lembaga Hasil Dalam Negeri wajib menggeledah dan cari helah-helah iaitu elak bayar cukai.” Persoalan saya di sini ialah, siapakah yang dimaksudkan dengan golongan maha kaya oleh Perdana Menteri?

Kedua, sudahkah Lembaga Hasil Dalam Negeri menjejaki dan menggeledah kediaman atau pejabat golongan maha kaya ini yang enggan membayar cukai?

Ketiga, adakah Lembaga Hasil Dalam Negeri menyenaraihitamkan pembayar cukai yang enggan membayar tunggakan cukai atau cukai semasa agar mereka tiada akses untuk membuat pinjaman dengan institusi kewangan?

Saya ambil contoh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah senaraihitamkan kenderaan yang disaman akibat kesalahan jalan raya sebelum memperbaharui cukai jalan, saman perlu dibayar dahulu. Kemudian tunjukkan resit bayaran saman di kaunter, lepas itu barulah cukai jalan dibenarkan diperbaharui. Ia memberi kesan kepada pemilik kenderaan. Jadi saya rasa Lembaga Hasil Dalam Negeri boleh mengambil langkah yang serupa seperti Lembaga Hasil Dalam Negeri iaitu senaraihitamkan pembayar cukai sama ada pembayar cukai itu di kalangan individu atau tauke-tauke syarikat besar.

draft • 2:34 PM

Dr. Haji Abd Ghani bin Ahmad - Jerlun

Berkaitan LHDN ini saya menerima rungutan daripada sebuah syarikat perumahan di Kedah. Saya sebut namanya dengan jelas: AIMA Development Sdn.

Bhd., yang mana cukai terlebih bayar kepada LHDN bagi tahun 2023 berjumlah RM580,742. Pengerusi Eksekutifnya telah mengutus e-mel menuntut bayaran balik daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri. Malangnya, Jabatan Pungutan Hasil LHDN memaklumkan bahawa permohonan tersebut dibekukan dan tertakluk kepada garis panduan oleh pihak pengurusan LHDN.

Syarikatnya hanya menerima RM27,827.23 pada 24 April 2025 baru-baru ini dan bakinya sebanyak RM552,914.72 belum dibayar lagi. Persoalannya, mengapa bayaran balik ini dibekukan? Mengapa perlu ada garis panduan pula untuk bayar balik kepada pembayar cukai? Jadi, saya pohon isu ini dapat diselesaikan secepat mungkin. Ya, lebih baik menjejaki golongan yang tidak bayar cukai daripada melambat-lambatkan pembayar cukai yang telah pun terlebih bayar, yang sepatutnya dipulangkan balik.

Berbalik kepada ABT, Akaun Belum Terima. Lebih banyak hasil yang sepatutnya diterima oleh kerajaan masih belum dikutip atau diselesaikan dalam tempoh kewangan tersebut. Kutipan hasil yang rendah menunjukkan masih terdapat kelemahan dalam pengurusan hasil dan proses kutipan di peringkat agensi tertentu, terutamanya dalam sistem pungutan cukai dan hasil perkhidmatan. Ia memberi kesan kepada aliran tunai kerajaan kerana hasil yang sepatutnya diterima, tidak masuk ke dalam akaun semasa.

Dalam laporan ini, Jabatan Audit Negara (JAN) telah membuat syornya.

Syornya ialah mekanisme kutipan tunggakan pelbagai ABT hasil perlu dimantapkan agar kutipan atau pelarasan dilakukan segera bagi mengelakkan hapus kira. Hapus kira pun pelbagai ABT hasil ini melebihi tempoh enam bulan sahaja berjumlah RM337.14 juta.

Akhirnya, dalam kesempatan ini, saya ingin bertanya kepada kerajaan.

Setelah syor-syor yang dikemukakan dalam Laporan Ketua Audit Negara ini, pertama, apakah mekanisme penguatkuasaan yang telah diambil untuk meningkatkan ABT hasil? Bukan setakat agensi Kerajaan Persekutuan, bahkan termasuk agensi-agensi kerajaan-kerajaan negeri.

Dan yang kedua, nyatakan pencapaian terkini status kutipan hasil selepas teguran ini dibuat oleh Jabatan Audit Negara, terutamanya kepada tiga kementerian yang disebut secara nyata dalam laporan ini.

Sekian Tuan Yang di-Pertua, terima kasih. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

draft • 2:40 PM

Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor

Terima kasih Yang Berhormat Jerlun. Berikut, saya mempersilakan Yang Berhormat Bayan Baru.

draft • 2:40 PM

Tuan Sim Tze Tzin - Bayan Baru

Terima kasih Tuan Yang di-Pertua kerana memberi peluang kepada Bayan Baru untuk membahaskan Laporan Ketua Audit Negara 3/2025. Saya rasa bangga kerana kita dapat membahaskan Laporan Ketua Audit Negara kerana daripada dulu, saya sudah masuk Parlimen 15 tahun. Selama ini, Laporan Ketua Audit Negara tidak langsung dibahaskan dan kita nampak dulu, kita dapat bertimbun-timbun laporan itu, tinggi, tetapi rakyat tidak tahu dan kebanyakan ketirisan dan ketidak— rasuah dan sebagainya tidak dapat diketahui oleh rakyat dan ini adalah keberanian reformasi institusi. Di mana kita akhirnya boleh mendapat kebertanggungjawaban dan jawapan daripada kerajaan atas segala ketirisan yang berlaku...

draft • 2:44 PM

Tuan Syahredzan bin Johan - Bangi

Bayan Baru.

draft • 2:44 PM

Tuan Sim Tze Tzin - Bayan Baru

Ya.

draft • 2:44 PM

Tuan Syahredzan bin Johan - Bangi

Boleh sikit ‘tak?

draft • 2:44 PM

Tuan Sim Tze Tzin - Bayan Baru

Silakan.

draft • 2:44 PM

Tuan Syahredzan bin Johan - Bangi

Okey. Bayan Baru, saya ingat lagi, saya rasa dalam dua tahun lepas atau tiga tahun lepas, yang mana pihak yang sebelah sana bertegas tak mahu membahaskan LKAN, tapi saya tengok sekarang mereka dah juga ghairah untuk membahaskan LKAN. Jadi, adakah ini menunjukkan bahawa mereka sendiri mengakui bahawa apa yang Kerajaan MADANI buat itu adalah benda yang betul?

draft • 2:44 PM

Tuan Sim Tze Tzin - Bayan Baru

Saya setuju sebab yang baik itu kita kena berani laksanakan supaya tak ada orang yang rasuah, kerajaan dapat kebertanggungjawaban dan inilah membuktikan Kerajaan MADANI ini jalan dengan ke arah yang betul dan kita laksanakan kata-kata dan juga manifesto kita. Dan saya ucapkan tahniah kepada Tan Sri Speaker dan juga Ketua Majlis iaitu Yang Amat Berhormat Perdana Menteri kerana memulakan tradisi untuk membahaskan Laporan LKAN ini.

Ini adalah satu – membawa satu nafas yang baharu, termasuk Timbalan Speaker juga. Membuat keputusan membahaskan Laporan Ketua Audit dan ini membawa nafas baru ke dalam Parlimen, ke arah kebertanggungjawaban, transparency dan accountability. Dan ini – sebab itulah kita mendapatkan kedudukan kewangan yang lebih baik kerana kita nampak bahawa segala reformasi institusi ini membawakan hasil. Contohnya, hutang Persekutuan telah boleh dikawal, kenaikan pertumbuhan hutang menurun daripada 11.4 peratus 2021, sekarang hanya 6.4 peratus 2024. Jadi, defisit juga. Pada tahun 2023, lima peratus defisit kewangan, tetapi tahun 2024 unjuran adalah 4.3 peratus, tetapi kita berjaya menurunkan lagi daripada 4.3 peratus kepada 4.1 peratus sahaja. Ini kejayaan.

Dalam keadaan kedudukan fiskal yang lebih baik ini, kerajaan sebenarnya boleh memanfaatkan rakyat kerana lebih banyak boleh dibagi kepada rakyat. Kerana kita berjaya atas ketelusan, accountability dan juga check and balance yang lebih baik, maka ada lebihan duit. Duit itu dikembalikan kepada rakyat. Contohnya, kerajaan sekarang boleh memberi SARA, RM100 setiap bulan kepada keluarga B40.

Ya, mereka boleh dapat RM100 tiap-tiap bulan. Ini banyak membantu keluarga- keluarga yang kecil, yang susah di kawasan luar bandar dan juga di bandar.

Bukan itu sahaja, kerajaan telah mengumumkan RM100 untuk setiap warga Malaysia. Ya, tanpa mengira yang kaya atau miskin, mereka boleh mendapat RM100 untuk setiap orang kerana kedudukan fiskal, kedudukan kewangan kerajaan telah diperbaiki. Dan yang paling hebat sekali adalah kerajaan boleh memberi BUDI95, RON95 subsidi yang pada harga RM1.99, turun lagi dan 300 liter pada kadar subsidi kepada seluruh - semua rakyat Malaysia. Ini tahniah kepada Kerajaan MADANI.

Walau bagaimanapun, saya tahu bahawa segala yang baik masih ada ruang untuk diperbaiki dan itu adalah dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara. Dan saya ingin menyeru kepada kerajaan, memberi perhatian kepada perolehan, perolehan, perolehan kerana segala rasuah, penyelewengan dan juga ketirisan berlaku dalam bahagian perolehan.

Kerana daripada Laporan Ketua Audit Negara, kita nampak bahawa sebenarnya projek-projek yang sakit, projek-projek yang lewat, sebenarnya adalah kerana faktor perolehan yang tidak teratur. Dan saya amat kecewa kerana yang berlaku ini, yang projek sakit ini berada di sekolah. Banyak sekolah yang lewat, yang sakit, yang sengsara ini, anak-anak kita yang patutnya pergi ke sekolah dengan keadaan yang lebih baik, tetapi – dan bukan saja sekolah, termasuk juga tentera, keluarga tentera, pembinaan rumah keluarga tentera, angkatan tentera (RKAT).

Extension of time lebih daripada 467 hari, EOT empat kali. Pembinaan sekolah, EOT 10 kali, lewat 785 hari. Ini adalah disebabkan perolehan.

Bukan sahaja itu, kita juga tengok tentang pengurusan kenderaan kerajaan di bawah perjanjian konsesi. Itu adalah di bawah SPANCO. Semua kenderaan kerajaan, termasuk kereta Tuan Yang di-Pertua, termasuk kereta Perdana Menteri, Menteri-Menteri dan juga pegawai kerajaan, sehinggakan kepada kenderaan polis.

draft • 2:44 PM

Tuan Sim Tze Tzin - Bayan Baru

Kita nampak bahawa sebenarnya penuh dengan masalah kerana projek ini adalah di bawah direct negotiation dengan SPANCO. Dulunya kerajaan buka tender, ada dua syarikat yang tersenarai, satu adalah SPANCO, satu adalah Naza Berjaya.

Naza Berjaya memberi tender RM3.9 bilion, tetapi lepas itu tender ini ditutup, dibatalkan dan kerajaan masuk direct negotiation dan award kepada SPANCO pada RM4.6 bilion: RM670 juta lebih mahal daripada harga yang terendah...

draft • 2:50 PM

Tuan Syed Saddiq bin Syed Abdul Rahman - Muar

Yang Berhormat.

draft • 2:50 PM

Tuan Sim Tze Tzin - Bayan Baru

Silakan.

draft • 2:50 PM

Tuan Syed Saddiq bin Syed Abdul Rahman - Muar

Saya setuju dengan apa yang Yang Berhormat kongsikan sebentar tadi. Saya ingat pada tahun 2019, memang tender dilakukan dan tender dibuat secara terbuka. Cuma difahamkan selepas itu, tender terbuka itu dibatalkan dan dibuat rundingan terus.

Persoalan saya, sekarang kerajaan di bawah pimpinan Yang Amat Berhormat Tambun, tetapi keputusan di mana tender terbuka itu dibatalkan dan rundingan terus itu diteruskan, masih dikekalkan. So, persoalan saya, kalau tahu ada kesilapan dan kesalahan, mengapa kerajaan hari ini tidak ingin membetulkan kesilapan tersebut?

Terima kasih.

draft • 2:50 PM

Tuan Sim Tze Tzin - Bayan Baru

Okey, untuk maklumat Dewan yang ini, kita tahu bahawa perjanjian itu bukan ditandatangani masa Yang Amat Berhormat Tambun. Itu adalah kerajaan terdahulu. Dan saya kesian kepada Perdana Menteri kerana terpaksa untuk menanggung kesilapan yang terdahulu. Dan saya rasa adalah, perlu bahawa saya tidak ingin cari masalah yang dulu-dulu, tetapi kita look forward.

Apa yang saya nak cadangkan kepada kerajaan adalah fokus kepada Bahagian Perolehan. Bahagian Perolehan itu dah adalah masalah segala-galanya yang berlaku di sana. Jadi, saya ingin cadangkan kepada kerajaan untuk meletakkan pegawai SPRM dalam Bahagian Perolehan setiap kementerian, setiap jabatan, setiap agensi kerajaan. Sekarang, Pegawai SPRM diletakkan dalam kementerian sahaja, dia bukan dalam Bahagian Perolehan. Dan adalah penting bahawa setiap Bahagian Perolehan ini diletakkan, bukan satu, bukan seorang pegawai SPRM, bukan dua, tetapi beberapa Pegawai SPRM dalam semua peringkat Bahagian Perolehan. Kerana kita tahu bahawa kontrak-kontrak sekarang, mereka begitu hebat sekali.

Dia boleh pau dari bawah sampai ke atas. Daripada spesifikasi. Menulis spesifikasi pun ditulis oleh orang lain. Di pau oleh syarikat-syarikat kontraktor. Jadi, adalah perlu bahawa Pegawai SPRM sama ada secara official atau samaran, letak juga Pegawai SPRM samaran dalam Bahagian Perolehan. Tengok betul-betul setiap proses itu dan buatlah tangkapan kerana kita tahu bahawa kita tidak boleh lagi membiarkan kerajaan membazir berjuta-juta, berbilion-bilion ringgit dalam kontrak kerajaan dan akhirnya projek sakit yang sengsara adalah anak-anak kita di sekolah dan juga keluarga angkatan tentera. Sekian, terima kasih Tuan Yang di-Pertua.

draft • 2:50 PM

Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr Ramli bin Dato’ Mohd Nor

Terima kasih, Yang Berhormat Bayan Baru. Berikut dipersilakan, Yang Berhormat Jerantut.

draft • 2:50 PM

Tuan Ir. Ts. Haji Khairil Nizam bin Khirudin - Jerantut

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera Tuan Yang di-Pertua. Pertamanya, terima kasih kerana memberikan peluang kepada Jerantut untuk terus turut serta membahas Laporan Ketua Audit Negara 3/2025.

Untuk pengetahuan semua, proses ataupun mekanisme audit ini dia ada lima steps yang di mana daripada lima ini bermula daripada perancangan audit membawa kepada pelaksanaannya, penemuan dan penilaian audit, penyediaan dan semakan laporan audit dan akhirnya pembentangan dan tindakan susulan. Dan di antara perkara asas di dalam stage pembentangan dan tindakan susulan ini adalah di bentang ataupun diletakkan di atas meja Ahli Parlimen Laporan Ketua Audit Negara supaya Ahli Parlimen dan juga orang awam mengetahui tentang tahap tadbir urus kerajaan. Jadi, ini satu tindakan yang baik.

Cuma di sini ada satu perkara yang perlu kita detail kan iaitu di dalam kita membincangkan tentang Laporan Audit Negara ini Tuan Yang di-Pertua, sering kali kita melihat berlakunya pengulangan masalah yang sama. Isu projek sakit ini ataupun isu integriti, isu tadbir urus yang tidak baik bukan isu yang baru, ia adalah isu yang lama. Kenapa berlaku repetitive masalah, masalah yang berulang?

Sebab itu di sana ada keperluan untuk PAC, ada keperluan untuk Jawatankuasa Khas yang ditubuhkan di dalam Parlimen untuk memanggil kementerian-kementerian supaya dapat meneliti syor-syor yang telah dicadangkan oleh audit, apakah ia telah dilaksanakan oleh KSU ataupun Bahagian Audit di peringkat kementerian ataupun tidak?

Dan ini penting dan saya juga mencadangkan supaya bukan sekadar Laporan Ketua Audit ini diletakkan di atas meja, saya mencadangkan laporan susulan setelah tindakan yang dilaksanakan oleh kementerian-kementerian juga diletakkan di atas meja kita supaya kita boleh telitikan agar tidak berlakunya pengulangan kepada masalah-masalah yang terbabit. Itu yang pertama, Tuan Yang di-Pertua.

Yang kedua, berkenaan dengan isu integriti dan ketirisan dalam program subsidi bantuan rakyat. Saya ingin menarik perhatian Dewan ini, kepada satu perkara yang amat dekat di hati rakyat iaitu tentang isu integriti dan ketirisan dalam pelaksanaan program subsidi dan bantuan rakyat yang dinyatakan oleh Ahli Parlimen Bayan Baru sebentar tadi.

Menurut laporan ini, terdapat kelemahan ketara dalam pengurusan subsidi bersasar, khususnya subsidi minyak masak paket serta beberapa bentuk bantuan sosial lain di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kementerian Kewangan. Audit mendapati bahawa walaupun subsidi minyak masak bertujuan untuk membantu golongan B40, pemantauan terhadap pengilang dan pengedar masih lagi lemah. Sebahagian pengilang tidak melaporkan pengeluaran sebenar minyak masak bersubsidi, manakala sistem pengesanan bekalan ke peringkat runcit tidak berfungsi dengan sepenuhnya.

Kesannya, berlakulah kebocoran ketara di mana minyak masak bersubsidi diseleweng ke sektor industri atau dieksport secara tidak sah. Saya menyokong syor Ketua Audit Negara agar kerajaan, pertama, memperkukuh mekanisme penyasaran targeting dengan mengintegrasi semua pangkalan data penerima. Saya juga menyokong pelaksanaan audit tahunan ke atas semua skim subsidi dan bantuan sosial serta menubuhkan satu unit khas pengesanan, penipuan dan penyalahgunaan bantuan agar kebocoran ini dapat dikesan seawal mungkin dan mudah-mudahan apabila dilaksanakan syor-syor Ketua Audit Negara ini, maka rakyat yang sepatutnya mendapat bekalan minyak masak paket ini mendapat dengan sewajarnya.

Tuan Yang di-Pertua, berkenaan dengan projek-projek sakit ini, kalau kita lihat dalam pengalaman kami di bawah Jawatankuasa Infrastruktur — Jawatankuasa Khas Pilihan Infrastruktur, Pengangkutan dan Komunikasi, kita pernah berjumpa dengan KPKT. Kita tanya kenapa berlakunya masalah ini dan bagaimana mekanisme untuk kita memastikan perkara ini tidak berulang?

Banyak jawapan yang diberikan oleh pihak kementerian. Di antaranya menggunakan sistem traffic light system untuk memastikan segala tindakan-tindakan itu dapat dilaksanakan. Tapi Tuan Yang di-Pertua, dalam keadaan sedemikian, perkara-perkara itu masih lagi berulang. Dan ia bukan sekadar berulang di peringkat perolehan saja, seperti yang dinyatakan oleh Bayan Baru tadi. Ia juga berlaku di semua stage: proses pelaksanaan projek. Oleh yang demikian, saya mencadangkan kepada kerajaan, kerajaan mesti rangka segera pelan pemulihan projek RMK12 lengkap dengan senarai projek sakit, jangka masa pembaikan, aliran dana tambahan dan pemantauan yang konsisten serta rapi.

Kedua, kita tetapkan had masa maksimum ataupun dengan izin, cut-off time kepada semua projek yang masih lagi belum siap selepas 2025 untuk disemak semula kelayakan dan ditentukan sama ada perlu diteruskan, ditangguh atau dibatalkan.

Ketiga, kita perlu tingkatkan audit interim ataupun audit forensik ke atas projek-projek lewat agar segala salah urus, kelewatan kontraktor ataupun perubahan spesifikasi tanpa justifikasi dapat dikesan awal dan projek-projek yang sangat strategik yang memberi impak tinggi kepada rakyat wajib diberikan prioriti penyelesaian segera dalam satu tempoh hingga dua tahun yang akan datang dan yang paling penting tindakan punitif perlu dilaksanakan kepada kontraktor-kontraktor yang terbabit supaya mereka tidak lagi mendapat kontrak-kontrak di bawah kerajaan dan kalau boleh juga cadangan kami supaya segala projek-projek mega ini diberikan melalui GLC. Bukannya dibuka terus tender kepada syarikat-syarikat di luar sana supaya berlakunya kitaran ekonomi kembali semula duit itu kepada rakyat melalui dividen yang diberikan oleh GLC.

draft • 2:53 PM

Tuan Ir. Ts. Haji Khairil Nizam bin Khirudin - Jerantut

Yang terakhir, Tuan Yang di-Pertua, pengurusan kenderaan kerajaan di bawah konsesi MOF. Berhubung dengan pengurusan kenderaan kerajaan di bawah konsesi yang dikendalikan oleh Kementerian Kewangan. Menurut laporan, sebanyak RM1.75 bilion telah dibayar kepada syarikat konsesi bagi tempoh 2021 hingga 2024.

Namun, hasil audit mendapati terdapat anggaran penalti berjumlah RM54.51 juta yang tidak dikutip serta kerugian RM28.79 juta kerana kenderaan yang sudah tamat pajakan masih digunakan oleh kementerian atau agensi kerajaan.

Yang lebih mengejutkan lagi Tuan Yang di-Pertua, sebanyak 6,028 buah kenderaan dibekalkan lewat. Ada yang sampai lewat sehingga 508 hari, namun tiada sebarang notis tuntutan dikeluarkan kepada syarikat konsesi ini. Ini saya kata tindakan punitif tadi. Persoalannya Yang di-Pertua, adakah kontrak konsesi ini sebenarnya lebih memihak kepada syarikat daripada kerajaan ataupun rakyat?

Sekiranya tidak, mengapa tiada tindakan undang-undang atau tuntutan ganti rugi diambil terhadap kontraktor yang gagal menepati tempoh dan syarat perjanjian?

Saya menyeru agar Kementerian Kewangan menilai semula keseluruhan struktur perjanjian konsesi kenderaan kerajaan ini. Jika perlu, bentangkan laporan penilaian semula kepada Parlimen, termasuk tindakan terhadap mana-mana syarikat yang gagal. Kontrak seperti ini tidak boleh dibiarkan menjadi lesen keuntungan tanpa bertanggungjawab. Kerajaan mesti memastikan bahawa setiap kontrak yang ditandatangani berpihak kepada kepentingan awam, bukan kepentingan korporat.

Tuan Yang di-Pertua, kita boleh berbeza parti. Kita juga boleh berbeza dalam pelbagai perkara tetapi pastinya kita tidak boleh berbeza dalam soal amanah dan ketulusan. Laporan Ketua Audit Negara ini adalah peluang untuk kita memperbaiki, bukannya kita menuding jari. Jika Kerajaan MADANI ini berani memperbetulkan kesilapan, maka kami di peringkat pembangkang Perikatan Nasional, kami akan menyokong. Tetapi jika kerajaan memilih untuk menutup mata, maka kami tidak akan berdiam diri. Sekian, assalamualaikum warahmatullah.

draft • 3:00 PM

Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor

Terima kasih Yang Berhormat Jerantut. Berikut, dipersilakan Yang Berhormat Seputeh.

draft • 3:00 PM

Puan Teresa Kok Suh Sim - Seputeh

Terima kasih Timbalan Pengerusi.

Dato’ Yang di-Pertua. Saya ingin merujuk kepada pelaksanaan e-Selfaudit oleh Jabatan Audit Negara terhadap 1,856 badan lain, termasuk syarikat diwartakan sehingga 6 Februari 2025 yang dinyatakan dalam Laporan Ketua Audit Negara Bilangan 3/2025 yang dibahaskan sekarang.

Adakah e-Selfaudit ini juga terpakai atau akan terpakai kepada Lembaga Kelayakan Profesion Undang-undang (LPQB)? Tujuan saya tanya isu ini adalah kerana pada tahun lepas, kita diberitahu di Parlimen bahawa tiada audit dilakukan terhadap LPQB selama 17 tahun yang lepas. Susulan itu, kerajaan telah mengambil langkah proaktif untuk membentangkan pindaan kepada Akta Profesion Undang- undang 1976 dengan memasukkan seksyen 9A baharu yang memberi kuasa kepada Ketua Audit Negara untuk mengaudit akaun LPQB setiap tahun.

Soalan saya adalah seperti berikut. Satu, sejak seksyen 9A ini mula berkuat kuasa, apakah langkah yang telah diambil oleh Jabatan Audit Negara untuk mengaudit LPQB? B, ialah adakah audit terhadap LPQB telah bermula dan juga apakah penemuan audit selama ini setakat sekarang ini? Adakah Jabatan Audit Negara akan mengaudit akaun LPQB yang tidak pernah diaudit pada 17 tahun yang lepas? Sekiranya tidak, apakah mekanisme untuk menyemak aktiviti dan kewangan LPQB tersebut? Saya rasa ini adalah penting kerana memang hairan kepada pihak ramai, yang mana satu agensi yang begitu penting LPQB, yang akaun dia tidak pernah diaudit selama 17 tahun.

Dato’ Yang di-Pertua, saya juga ingin sebut dan bangkitkan isu berkenaan laporan dalam LKAN ini yang berkaitan dengan masalah kerosakan kuarters dan jawatan yang lama tidak diisi di Pejabat Perwakilan Malaysia di Wellington, New Zealand dan juga isu yang lebih kurang sama yang berlaku di pejabat Kedutaan Malaysia di negara-negara lain. Saya dan beberapa ahli-ahli PAC pernah mengadakan kunjungan rasmi ke Parlimen New Zealand pada beberapa bulan yang lepas.

Kami juga diberitahu tentang masalah bangunan yang usang dan juga jawatan yang tidak diisi oleh Kementerian Luar ‘Negara’ kerana wujudnya masalah kewangan. Saya juga terima aduan yang lebih kurang sama, bila saya mengadakan lawatan rasmi di negara-negara lain dan juga melawat Pejabat Perwakilan Malaysia di negara-negara lain.

Di sini, saya ingin menyeru Kementerian Kewangan memberi peruntukan yang cukup untuk menaik taraf atau menambahbaikkan bangunan yang usang di Pejabat Kedutaan Malaysia di banyak negara. Seperti apa yang telah dibangkitkan oleh beberapa Ahli-ahli Yang Berhormat berkenaan dengan isu ini, kadang-kadang mereka, pegawai kita yang ditempatkan di luar negara memang rasa sangat susah untuk berfungsi kerana ketidakcukupan dana diberi kepada mereka dan ada perkara yang mereka tidak dapat buat langsung kerana walaupun mereka sampaikan masalah ini kepada HQ di Putrajaya, tetapi selalunya aduan mereka nampaknya tidak ditangani dengan perhatian yang cukup dan dana yang cukup. Saya berharap dalam bajet yang akan datang, dana yang lebih akan diberi kepada mereka.

Dato’ Yang di-Pertua, saya juga nak sebut tentang pelaksanaan projek kerajaan, yang mana di dalam senarai ini setakat 31 Disember 2024, yang mana Kementerian Pendidikan Malaysia yang menghadapi yang projek sakit, projek tidak lengkap, projek yang lewat dan malah dipatahkan. Ia merupakan kementerian yang menghadapi masalah ini paling serius.

Di sini saya nak sebut tentang pengalaman saya sebagai Ahli Parlimen, yang mana selalunya saya cuba membantu menaik taraf dengan sekolah-sekolah di kawasan saya dengan dana diberikan oleh kerajaan melalui ICU. Selalu kami menghadapi masalah ialah apa-apa yang berkenaan dengan struktur.

Macam kita nak— saya pernah nak tolong satu sekolah rendah Tamil untuk mengubah atau membesarkan bumbung kantin dia yang begitu simple sahaja strukturnya. Saya sebenarnya dapat bantuan daripada satu syarikat pemaju untuk membantu sekolah itu. Ini adalah percuma tapi saya terpaksa tunggu tiga, empat bulan kerana pihak JKR pernah hantar pegawai datang semak, bagi laporan, baru pihak swasta ini boleh buat ini untuk sekolah secara percuma.

Begitu juga dengan baru-baru ini, yang mana saya cuba guna wang, dana untuk kawasan Parlimen saya itu untuk membantu pihak sekolah. Masalah yang sama. Mereka perlu tunggu engineer daripada JKR untuk mengesahkan dan mereka pegawai Jabatan Pendidikan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur kata mereka tidak boleh lakukan ini. Ini adalah prosedur SOP dan sebagainya dan mesti guna syarikat kontraktor di bawah JKR ataupun Kementerian Kerja Raya.

Jadi, kalau kita lihat berbanding yang quotation yang saya dapat daripada pihak swasta. The quotation di bawah kontraktor Kementerian Kerja Raya ia adalah dua, tiga kali ganda lebih mahal daripada kontraktor yang saya, yang qualify, yang ada, yang dapat surat tauliah dari yang diiktiraf lah oleh kementerian. Sekarang ada masalahnya kita kalau mahu guna dengan dana yang diberi kepada kawasan kami, nak guna dengan secara berkesan, kami menghadapi masalah. Kita mesti guna syarikat kontraktor di bawah Kementerian Kerja Raya. Mereka ini selalu lambat, selalu lewat dan mereka beri quotation yang jauh lebih tinggi kerana ini adalah apa syarat yang dihadkan oleh kerajaan.

draft • 3:02 PM

Puan Teresa Kok Suh Sim - Seputeh

Saya nak minta pihak kerajaan, pihak ICU ke pihak Kementerian Pendidikan dan juga pihak Kementerian Kerja Raya. Bolehkah duduk sama untuk memudahkan kesemua proses ini, kerana apa yang kita mahu adalah untuk membantu sekolah dan sekarang kita lihat angin kencang, hujan lebat selalu berlaku. Banyak sekolah yang bangunannya usang. Sebenarnya, kita boleh lihat bumbung bocor atau ditiupkan oleh angin kencang. Kalau nak tunggu kontraktor, kena tunggu engineer untuk mengesahkan selalu menaiktarafkan, jadi sekolah itu, budak- budak itu terpaksa gunakan kantin, guna dewan dan untuk belajar.

Saya nak cadangkan Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kerja Raya kenalah duduk bersama. Bagilah kelonggaran, bagilah pihak sekolah, PIBG, kebebasan untuk menambahbaikkan bangunan mereka dan dengan projek-projek yang lewat seperti yang dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 3/2025 ini, saya berharap perubahan akan berlaku dari segi menambahbaikkan, menaik taraf dan juga pembinaan bangunan baharu untuk pihak sekolah. Sekian, terima kasih.

draft • 3:10 PM

Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor

Terima kasih Yang Berhormat Seputeh. Dipersilakan Yang Berhormat Mas Gading.

draft • 3:10 PM

Tuan Mordi anak Bimol - Mas Gading

Terima kasih Dato’ Speaker kerana memberikan peluang kepada Mas Gading untuk turut serta dalam perbahasan Laporan Ketua Audit Negara Siri 3/2025 mengenai Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan Tahun 2024 dan aktiviti kementerian, jabatan serta syarikat Kerajaan Persekutuan.

Mas Gading terlebih dahulu ingin merakamkan ucapan penghargaan kepada Ketua Audit Negara serta seluruh pasukan Jabatan Audit Negara atas laporan yang komprehensif dan penuh tanggungjawab ini. Laporan ini bukan sekadar dokumen kewangan, tetapi cerminan terhadap tahap akauntabiliti dan kebertanggungjawaban pentadbiran dalam menguruskan wang rakyat.

Dato’ Speaker, perkara pertama yang Mas Gading ingin sentuh di sini adalah tentang pengurusan hutang Persekutuan dan liabiliti tersembunyi. Mas Gading mengambil perhatian bahawa liabiliti keseluruhan Kerajaan Persekutuan meningkat kepada RM1.578 trilion pada tahun 2024, berbanding RM1.492 trilion pada 2023.

Manakala hutang persekutuan meningkat kepada RM1.248 trilion walaupun kadar defisit menurun kepada 4.1 peratus daripada KDNK, berbanding lima peratus pada tahun sebelumnya, hakikatnya paras hutang masih pada tahap tinggi.

Jadi, Mas Gading juga melihat corak perbelanjaan tambahan yang ketara iaitu RM8.4 bilion pada tahun 2021, RM60.1 bilion pada tahun 2022, RM23.4 bilion pada 2023 dan RM20.1 bilion pada tahun 2024. Ini menimbulkan persoalan tentang sejauh manakah perbelanjaan tambahan ini disepadukan dalam laporan audit tahunan?

Mas Gading ingin bertanya, adakah Laporan Ketua Audit Negara turut mengambil kira perbandingan antara anggaran perbelanjaan tambahan yang diluluskan pertengahan tahun dengan perbelanjaan sebenar seperti yang direkod dalam laporan audit?

Adakah terdapat penjelasan terperinci mengenai impak terhadap had siling hutang negara sekiranya setiap tahun berlaku perbelanjaan tambahan yang besar?

Mas Gading mencadangkan agar laporan Ketua Audit Negara yang akan datang memasukkan analisis komparatif antara RUU Perbekalan asal dan tambahan supaya Dewan ini dapat menilai dengan lebih jelas tahap keberkesanan fiskal dan keupayaan pengurusan defisit jangka panjang.

Dato’ Speaker, perkara kedua yang Mas Gading ingin sentuh di sini adalah tentang tunggakan dan hapus kira pelbagai Akaun Belum Terima hasil, ya.

Mas Gading memandang serius dapatan bahawa jumlah keseluruhan pelbagai Akaun Belum Terima hasil meningkat kepada RM51.664 bilion dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia mencatat jumlah tertinggi iaitu RM40.389 bilion ataupun 92.9 peratus daripada pelbagai ABT hasil Kementerian Kewangan dan 78.2 peratus daripada keseluruhan ABT yang direkodkan. Apa yang lebih membimbangkan ialah hasil yang melebihi tempoh enam tahun berjumlah RM20.672 bilion iaitu suatu jumlah yang tinggi dan berisiko untuk dihapus kira.

Jadi, Mas Gading ingin bertanya, apakah faktor sebenar yang menyebabkan tunggakan ini berlarutan lebih enam tahun tanpa penyelesaian? Adakah kekangan undang-undang atau kelemahan sistem pemantauan kutipan atau ketiadaan koordinasi antara agensi pemungut dan Jabatan Audit Negara?

Jadi, Mas Gading mencadangkan supaya Kementerian Kewangan dan LHDNM memperkenalkan mekanisme pemulihan hasil digital bersepadu yang boleh menjejaki dan mengesan semua ABT secara masa nyata, termasuk menilai semula proses hapus kira agar tidak menjadi laluan mudah bagi kegagalan kutipan hasil.

Perkara ketiga yang ingin diangkat di sini adalah prestasi pelaksanaan projek pembangunan Rancangan Malaysia Kedua Belas di Sarawak. Dato’ Speaker, laporan audit turut menegaskan keperluan penyelesaian segera terhadap projek lewat jadual atau projek sakit di bawah RMK12 agar semua projek yang dirancang dapat disiapkan menjelang tahun 2025.

Mas Gading ingin menegaskan bahawa kelewatan projek pembangunan bukan sekadar statistik. Di Sarawak contohnya, projek-projek penting seperti Jambatan Selampit dan Jalan Kendai di kawasan Mas Gading yang diluluskan sejak RMK11 hanya mula menunjukkan kemajuan di bawah RMK12 dan kini, berdepan risiko lanjutan masa sekiranya tidak diselesaikan sebelum RMK13 bermula.

Mas Gading ingin bertanya, apakah sebenarnya punca kelewatan pelaksanaan projek-projek ini? Adakah ia berpunca daripada proses kelulusan tapak dan pengambilan tanah yang mengambil masa yang terlalu panjang atau disebabkan oleh karenah birokrasi di antara agensi pelaksana di peringkat kerajaan negeri dan Persekutuan?

Mas Gading juga tidak menolak kemungkinan bahawa faktor lain seperti kelemahan komunikasi antara agensi pelaksana dengan kontraktor utama serta isu berkaitan pembayaran pendahuluan dan tuntutan perbelanjaan sepanjang pelaksanaan projek turut menyumbang kepada kelewatan ini.

Dalam masa yang sama, Mas Gading berharap agar tiada unsur politik yang mempengaruhi kelancaran projek-projek Kerajaan Persekutuan di Sarawak, khususnya di kawasan yang diwakili oleh Ahli Parlimen daripada pembangkang.

Sekiranya wujud kecenderungan sedemikian, ia bukan sahaja menjejaskan imej pentadbiran, tetapi juga mengkhianati kepentingan rakyat yang menunggu manfaat daripada projek-projek ini.

Jadi, Mas Gading mencadangkan supaya diwujudkan sistem pemantauan terbuka berasaskan masa nyata iaitu real time open monitoring dashboard untuk setiap projek Persekutuan di Sarawak mahupun Sabah yang boleh diakses oleh Ahli Parlimen kawasan, jabatan pelaksana dan orang awam.

Ini bukan sahaja meningkatkan ketelusan dalam setiap peringkat pelaksanaan projek, malah membolehkan isu kelewatan, variasi kos dan prestasi kontraktor dipantau serta diperbetulkan segera.

Dato’ Speaker, Laporan Ketua Audit Negara ini bukan semata-mata laporan angka atau statistik, tetapi mencerminkan sejauh mana kerajaan menunaikan amanah rakyat dalam menguruskan wang awam dengan integriti dan tanggungjawab.

Dengan pelaksanaan Akta Audit (Pindaan) 2024 yang memberi kuasa lebih kepada Ketua Audit Negara untuk membuat audit susulan terhadap teguran dan syor, Mas Gading berharap kementerian-kementerian yang terlibat mengambil semua teguran ini secara serius dan segera memperbetulkan kelemahan yang dikenal pasti.

Akauntabiliti fiskal, ketelusan pengurusan hasil dan kecekapan pelaksanaan projek bukan lagi pilihan, tetapi kewajipan yang mesti dilaksanakan untuk mengembalikan keyakinan rakyat terhadap integriti pentadbiran kerajaan. Dengan itu, Mas Gading mohon menyokong. Sekian, terima kasih.

draft • 3:11 PM

Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor

Terima kasih Yang Berhormat Mas Gading. Berikut, dipersilakan Yang Berhormat Padang Serai.

draft • 3:11 PM

Dato’ Azman bin Nasrudin - Padang Serai

*Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh*. Salam sejahtera, terima kasih Dato’ Yang di-Pertua.

Setelah meneliti Laporan Ketua Audit Negara, ada beberapa perkara yang saya rasa patut diketengahkan dan penjelasan daripada pihak kerajaan. Laporan ini bukan sekadar angka dan statistik, tetapi merupakan gambaran nyata tentang betapa lemahnya pengurusan kewangan negara di bawah pentadbiran kerajaan yang sekarang ini.

Pertama, hutang negara menjulang tinggi. Tuan Yang di-Pertua, hutang Persekutuan telah mencecah RM1.248 trilion, meningkat RM75.105 bilion bersamaan 6.4 peratus dalam hanya satu tahun.

Setiap rakyat Malaysia sekarang menanggung beban hutang hampir RM40,000. Yang lebih membimbangkan, nisbah hutang kepada KDNK kekal pada 64.6 peratus, hampir menyentuh siling 65 peratus yang dibenarkan.

Daripada jumlah ini, RM490.023 bilion, 39.3 peratus akan matang dalam tempoh satu hingga lima tahun bermakna kerajaan terpaksa membuat pinjaman baharu untuk membayar hutang lama. Perbelanjaan untuk membayar hutang bukan sahaja— hutang sahaja sudah menelan RM50.481 bilion, meningkat RM4.150 bilion, sembilan peratus berbanding tahun 2023.

draft • 3:18 PM

Dato’ Azman bin Nasrudin - Padang Serai

Ini cukup untuk membina 100 hospital baru atau membiayai program bantuan makanan untuk lima tahun. Yang mengejutkan Tuan Yang di-Pertua, komposisi hutang menunjukkan sekuriti Kerajaan Malaysia RM633 bilion, terbitan pelaburan kerajaan RM570.8 bilion dan pinjaman luar negeri RM27.976 bilion. Soalan saya kepada Kementerian Kewangan, mengapa strategi pengurusan hutang kerajaan jelas gagal dengan kadar pertumbuhan hutang tahunan masih tinggi pada 6.4 peratus? Bagaimana kerajaan merancang untuk membayar RM490.023 bilion hutang yang akan matang dalam tempoh lima tahun akan datang? Mengapa peralihan kepada instrumen jangka panjang tidak berjaya mengurangkan beban perbelanjaan kerana hutang negara?

Kedua, kegagalan mengutip hasil negara. Tuan Yang di-Pertua, yang lebih memalukan ialah kegagalan kerajaan mengutip hasil negara. Pelbagai Akaun Belum Terima Hasil telah mencecah RM44.554 bilion, meningkat RM5.039 bilion, 12.8 peratus dalam masa satu tahun. Lebih memalukan lagi, RM20.672 bilion, 46.4 peratus daripadanya sudah melebihi enam tahun dan berisiko dihapus kira.

Pada tahun 2024 sahaja, RM337.14 juta telah dihapus kira. Wang rakyat telah lesap begitu sahaja. Analisis mendapati Lembaga Hasil Dalam Negeri gagal mengutip RM40.389 bilion hasil cukai. Kementerian Kesihatan mempunyai ABT RM358.89 juta untuk bil perubatan pesakit. Jabatan Perdana Menteri gagal mengutip RM463.21 juta. Yang paling menyedihkan Tuan Yang di-Pertua, daripada RM40.389 bilion ABT LHDNM, RM26.2539 bilion ataupun 65 peratus adalah cukai pendapatan syarikat, satu jumlah yang besar. RM11.381 bilion, 28.2 peratus adalah cukai pendapatan individu dan RM18.727 bilion sudah melebihi enam tahun.

Mengapakah mekanisme kutipan LHDNM begitu lemah sehingga membenarkan tunggakan cukai mencecah RM40.389 bilion? Apa saja tindakan terhadap pegawai yang gagal memungut wang hutang kepada kerajaan seperti yang diperuntukkan dalam seksyen 18 Akta Tatacara Kewangan 1957 dan mengapa kerajaan membenarkan hapus kira RM337.14 juta pada tahun 2024 sedangkan wang ini boleh digunakan untuk membiayai program rakyat?

Ketiga, projek pembangunan yang gagal diselesaikan. Laporan Ketua Audit Negara mendedahkan terdapat 157 projek pembangunan yang dikategorikan sebagai sakit. Satu pengakuan rasmi tentang kegagalan kerajaan dalam melaksanakan tanggungjawab asas kepada rakyat. Mari kita bicarakan kepada fakta.

Yang pertama, Projek Perumahan Tentera yang diabaikan. Projek RKAT Kukusan, Tawau dengan nilai RM100 juta telah lewat 418 hari dengan dua kelulusan EoT. Yang lebih memalukan, kerja di tapak telah terhenti sepenuhnya dan kontraktor gagal melaksanakan kewajipan. Hanya pada 23 Mei 2025, selepas hampir tiga tahun lewat, barulah notis penempatan dikeluarkan.

Projek RKAT Labuan bernilai RM63.25 juta pula telah lewat 467 hari dengan empat kelulusan EoT. Alasan yang diberikan termasuklah pekerja tidak kompeten, masalah cuaca dan isu logistik. Yang menyedihkan, projek ini kini terpaksa dibawa ke RMK13, bermakna anggota tentera kita terpaksa menanti lebih lama lagi.

Yang kedua, pengabaian pendidikan anak-anak pedalaman. Projek pembinaan Sekolah Kebangsaan Metalun di Belaga, Sarawak bernilai RM34.56 juta telah menerima 10 kelulusan EoT selama 785 hari. Bayangkan 10 kali gagal mematuhi jadual, 10 kali dibenarkan melanjutkan masa dan 10 kali mengecewakan 170 pelajar dan lapan orang guru yang terpaksa belajar dan mengajar dalam keadaan yang tidak selesa.

Ketiga, pembaziran wang rakyat yang berleluasa. Projek menaik taraf Galeria Perdana, Langkawi yang bernilai RM20.4 juta memerlukan tambahan kos RM40.20 juta, peningkatan sebanyak 197 peratus daripada kos asal. Ini adalah pembaziran yang tidak boleh diterima. Statistik yang mengejutkan. Daripada 8,755 projek di bawah RP4 RMKe-12, sebanyak 3,829 projek ataupun 43.7 peratus dalam pelaksanaan, 157 projek; 4.1 peratus dikategorikan sebagai sakit, 242 projek; 6.3 peratus langsung tidak menunjukkan sebarang kemajuan. Perbelanjaan sebenar 2021 hingga 2024 ialah RM315.932 bilion berbanding peruntukan RM307.908 bilion.

Tuan Yang di-Pertua, ini bukan sekadar angka, ini adalah nyawa, ini adalah masa depan, ini adalah harapan rakyat yang dikhianati. Anggota tentera yang berkorban untuk keselamatan negara terpaksa menanti rumah yang dijanjikan. Anak- anak di pedalaman Sarawak terpaksa belajar dalam keadaan yang tidak selamat dan selesa. Wang rakyat dibazirkan dengan sewenang-wenangnya. Kerajaan mempunyai tanggungjawab untuk memberikan penjelasan segera dan mengambil tindakan pemulihan serta merta. Rakyat sudah terlalu lama menunggu dan terlalu banyak menderita akibat kelemahan dalam pengurusan projek.

Yang keempat, pembaziran dan ketirisan yang berleluasa. Tuan Yang di- Pertua, Jabatan Pengangkutan Jalan gagal mengutip RM115.96 juta hasil nombor pendaftaran kenderaan. Agensi Penguatkuasaan Maritim membelanjakan RM521 juta untuk penyelenggaraan kapal, tetapi terdapat bayaran untuk peralatan yang tidak pernah dibekalkan. Yang paling menyakitkan hati, kerajaan gagal mengenakan penalti RM54.51 juta ke atas syarikat konsesi yang lewat membekalkan kenderaan kepada kerajaan.

Soalan akhir saya kepada kerajaan, mengapa tidak ada tindakan diambil terhadap syarikat konsesi yang lewat membekalkan kenderaan menyebabkan kerugian RM54.51 juta kepada rakyat? Apakah jaminan kerajaan bahawa ketirisan dalam penyelenggaraan aset kapal dan bot APMM tidak akan berulang?

Tuan Yang di-Pertua, laporan audit ini membuktikan tiga perkara. Pertama, ketirisan yang berleluasa. Kedua, pengurusan yang lemah. Dan ketiga, kurangnya integriti. Saya menuntut:

(i) Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara menyiasat semua isu ini;

(ii) menteri terbabit memberikan penjelasan terperinci;

(iii) tindakan disiplin diambil terhadap pihak yang cuai; dan

(iv) pemulihan segera wajar dilaksanakan.

Tuan Yang di-Pertua, rakyat sudah penat dengan pelbagai janji manis. Rakyat mahukan tindakan, rakyat mahukan ketelusan dan rakyat berhak mengetahui mengapa wang mereka dibelanjakan dengan cara yang tidak bertanggungjawab.

Sekian, terima kasih Tuan Yang di-Pertua.

draft • 3:20 PM

[Dewan tepuk]

Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor

Terima kasih Yang Berhormat Padang Serai. Berikut saya mempersilakan Yang Berhormat Besut. Yang Berhormat Besut tidak ada dalam Dewan, saya teruskan kepada Yang Berhormat Bukit Bendera.

draft • 3:20 PM

Puan Syerleena binti Abdul Rashid - Bukit Bendera

Terima kasih Dato’ Yang di-Pertua dan terima kasih kerana memberi ruang dan juga peluang kepada Bukit Bendera untuk mengambil bahagian dalam perbahasan Laporan Ketua Audit Negara. Jadi, setiap tahun Laporan Ketua Audit Negara menjadi cermin kepada bagaimana kita dapat mengurus amanah rakyat.

Tahun 2025 menunjukkan kemajuan yang besar dalam pengurusan fiskal negara tetapi juga mengingati kita bahawa kejayaan ekonomi tanpa integriti, tadbir urus hanyalah separuh perjuangan. Jadi, Laporan Ketua Audit Negara bagi Kerajaan Persekutuan Malaysia menggambarkan gambaran yang bercampur antara prestasi fiskal yang bertambah baik dan juga cabaran tadbir urus yang masih berterusan.

Ketua Audit Negara telah memberikan sijil tanpa teguran terhadap Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan bagi tahun berakhir 31 Disember 2024 yang mengesahkan bahawa akaun-akaun tersebut memberi gambaran yang benar, saksama dan juga diselenggarakan dengan baik. Yang membanggakan, defisit fiskal negara telah menurunkan dengan ketara, berkurangan sebanyak RM12.22 bilion menjadikan nisbah defisit kepada KDNK hanya 4.1 peratus berbanding lima peratus pada tahun yang sebelum ini. Jadi, hasil kerajaan meningkat kepada RM324.62 bilion dan ini menunjukkan peningkatan dalam pengurusan fiskal negara, memberikan lebih ruang untuk perbelanjaan pembangunan dan juga mengurangkan kebergantungan terhadap hutang.

Tuan Yang di-Pertua, ini adalah satu petanda kemajuan dan juga menunjukkan bahawa disiplin fiskal negara sedang dipulihkan, bahawa kerajaan mampu berbelanja dengan lebih bijak, berhutang dengan lebih berhemah dan juga melangkah ke arah pembangunan yang lebih mapan. Namun, saya tekankan perkataan namun. Di sebalik angka-angka yang indah ini, Laporan Audit ini juga mengingati kita tentang bahaya ketirisan dan juga kelemahan tadbir urus yang masih menghantui sistem kita.

draft • 3:27 PM

Puan Syerleena binti Abdul Rashid - Bukit Bendera

Hutang kini mencecah RM1.248 trilion bersamaan dengan 81.7 peratus. Tapi, yang lebih menakutkan, RM490 bilion hutang ini akan matang dalam tempoh lima tahun. Jadi, cuba bayangkan beban yang menanti generasi yang akan datang sekiranya kita tidak dapat bertindak dengan lebih tegas.

Tuan Yang di-Pertua, angka ini bukanlah satu-satunya kebimbangan saya.

Ada sesuatu yang jauh lebih parah iaitu pembazirannya bukan sahaja melibatkan wang tetapi juga keselamatan negara. Laporan ini juga mendedahkan kelemahan dalam Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia. Bayaran sebanyak RM32.5 juta telah dibuat untuk peralatan bot yang tidak dibekalkan atau tidak mengikut spesifikasi. Denda kelewatan tidak dikutip. Ujian teknikal yang sepatutnya memastikan aset berfungsi tidak dilaksanakan. Jadi, akibatnya, sebuah bot peronda tidak dapat beroperasi langsung.

Tuan Yang di-Pertua, ini bukan sekadar kegagalan pentadbiran ini dalam urusan kewangan tapi ini kegagalan untuk mempertahankan kedaulatan negara.

Jadi, cuba bayangkan di kala perairan kita terdedah kepada ancaman penyeludupan, pencerobohan dan juga aktiviti haram, agensi yang sepatutnya menjadi benteng pertahanan laut gagal berfungsi kerana pembaziran seperti ini. Jadi, soalan saya, siapakah yang meluluskan pembayaran ini? Dan mengapakah tidak ada tindakan tatatertib yang diambil terhadap mereka yang gagal menjalankan tanggungjawab ini?

Tuan Yang di-Pertua, apabila kita bercakap tentang Malaysia di pentas antarabangsa, kita tidak hanya bercakap tentang diplomasi atau dasar luar, kita bercakap tentang maruah negara. Setiap kedutaan, setiap suruhanjaya tinggi adalah wajah Malaysia di mata dunia. Jadi, tempat di mana bendera Jalur Gemilang dikibarkan dengan penuh rasa kebanggaan dan juga tempat di mana integriti pentadbiran kita diuji, dinilai dan juga diperhatikan, namun Laporan Ketua Audit Negara mendedahkan hakikat yang cukup membimbangkan.

Jadi, beberapa misi luar negara termasuklah di Canberra, Wellington, Singapura dan juga Hanoi gagal mematuhi persijilan asas pengurusan aset kerajaan.

Perabot, komputer, peralatan pejabat semuanya adalah milik rakyat tetapi tidak direkod dalam daftar rasmi kerajaan dan sekali gus melanggar Pekeliling Perbendaharaan Am. Di Wellington, dua monitor dan juga lapan kerusi mesyuarat tidak tersenarai. Di Canberra, kabinet dan juga rak buku hilang daripada rekod.

Jadi, Tuan Yang di-Pertua, ini bukannya soal kehilangan meja ataupun kerusi.

Ini adalah soal amanah dan juga tanggungjawab. Jadi, aset yang tidak direkodkan adalah aset yang boleh hilang tanpa jejak dan apabila ia berlaku, ia tercemar. Bukan hanya rekod tapi nama baik Malaysia.

Jadi, di sini saya menyeru agar kerajaan dapat mempercepatkan juga pelaksanaan sistem pangkalan data aset digital bersepadu untuk semua 108 misi luar negara. Setiap aset mesti direkod, dijejak dan diaudit secara masa nyata. Tapi, saya faham, pengurusan operasi antarabangsa ini bukannya mudah. Tetapi, disiplin kewangan tidak boleh ditinggalkan atas alasan kesukaran. Oleh itu, saya juga ingin mencadangkan satu pelan pengukuhan tadbir urus kewangan luar negara. Malaysia mesti dikenali sebagai bukan hanya suara diplomatik tapi dengan urus tadbir yang telus, bersih dan berintegriti.

Tuan Yang di-Pertua, Laporan Ketua Audit Negara ini tidak boleh sekadar dibentang untuk bacaan, kemudian dilupakan. Ia mesti menjadi asas pembaharuan yang menyeluruh dalam sistem perolehan dalam pengurusan kewangan dan juga dalam akauntabiliti penjawat awam. Disiplin fiskal bukan sekadar angka dalam laporan kewangan. Ia adalah cerminan kejujuran, tanggungjawab dan juga integriti kita terhadap rakyat Malaysia. Kerana, Tuan Yang di-Pertua, setiap sen yang dibelanjakan mesti membawa makna, setiap dasar mesti menambah nilai dan juga setiap keputusan mesti mencerminkan amanah yang diberikan rakyat kepada kita.

Kita sebagai kerajaan mempunyai tanggungjawab untuk memastikan setiap kelemahan diperbetulkan, setiap ketirisan diperkuatkan kawalannya dan juga setiap pembaharuan dilaksanakan dengan tekad serta ketelusan. Jadi, inilah komitmen kita.

Bukan sahaja untuk mengurus negara dengan baik tapi untuk memulihkan keyakinan rakyat bahawa kerajaan ini berkhidmat dengan integriti dan juga kejujuran.

Sekian, terima kasih.

draft • 3:30 PM

Timbalan Yang di-Pertua - Dato' Dr. Ramli bin Dato' Mohd Nor

Terima kasih Yang Berhormat.

draft • 3:30 PM

Datuk Che Mohamad Zulkifly bin Jusoh - Besut

Dato' Yang di-Pertua.

Dato' Yang di-Pertua, saya dah hadir. Saya ingat belum sampai turn saya. Jadi, saya minta dipanggil selepas ini.

draft • 3:30 PM

Timbalan Yang di-Pertua - Dato' Dr. Ramli bin Dato' Mohd Nor

Silakan Yang Berhormat Besut.

draft • 3:30 PM

Datuk Che Mohamad Zulkifly bin Jusoh - Besut

Ya?

draft • 3:30 PM

Timbalan Yang di-Pertua - Dato' Dr. Ramli bin Dato' Mohd Nor

Silakan.

draft • 3:30 PM

Datuk Che Mohamad Zulkifly bin Jusoh - Besut

Bolehkah sekarang?

Okey. Terima kasih. Begitu baik hati sekali Yang di-Pertua. Assalamualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh dan salam sejahtera. Terima kasih Yang di-Pertua kerana memberikan kesempatan kepada saya untuk membahaskan Laporan Ketua Audit Negara 3/2025.

Yang pertama, saya ingin sentuh berkenaan dengan perbelanjaan aset usang APMM. Dato' Yang di-Pertua, menurut LKAN, Agensi Penguatkuasaan Maritim didapati telah membelanjakan lebih kurang RM229.93 juta bagi kapal melebihi usia 30 tahun dan RM78 juta bagi bot berusia antara 11 ke 20 tahun. Jadi, perbelanjaan besar ini menunjukkan kebergantungan yang terlalu tinggi terhadap aset lama yang berisiko dari segi fungsi dan juga kosnya.

Jadi, aset-aset ini terus disenggara dengan kos yang meningkat tanpa justifikasi dari segi teknikalnya. Namun, tetap tidak berjaya meningkatkan tahap kemampuan beroperasi. Adakah pengurusan APMM telah dipengaruhi oleh, yang dikatakan kesesatan kos lepas, iaitu sunk-cost fallacy, dengan izin? Iaitu meneruskan suatu usaha semata-mata kerana telah banyak wang dibelanjakan sebelum ini walaupun ia tidak lagi masuk akal untuk diteruskan.

Jadi, kita sudah melihat kesilapan tentang sunk-cost fallacy ini dalam sejarah aset pertahanan. Sebelum ini, helikopter Nuri, di mana kita terus baiki dan baiki.

Rosak, baiki. Rosak, baiki. Jadi, ia nya berusia lebih kurang lima dekad dah walaupun kos senggaranya lebih mahal daripada membeli helikopter yang baru sehingga akhirnya berlaku beberapa nahas yang mengorbankan anggota keselamatan kita.

Saya berharap agar tidak dibiarkan sindrom Nuri tadi berulang di laut pula.

Oleh yang demikian, sudah tiba masanya kita beralih daripada senggaraan simptomatik, dipanggil― rosak, baiki, rosak teruk pun baiki― kepada pelan penggantian strategik bagi memastikan agensi penguatkuasaan itu dapat beroperasi dengan lebih sempurna lagi.

Keduanya ialah berkenaan dengan ketidakaturan pengurusan aset APMM itu sendiri. Di samping isu selenggara aset usang, ada beberapa ketidakaturan yang berlaku dalam perolehan aset APMM itu sendiri. Antara yang membazirkan wang negara adalah bayaran hampir RM60,000 untuk peralatan yang tidak dibekalkan dan sekitar RM140,000 dibelanjakan bagi peralatan yang tidak mengikut spesifikasi.

Jadi, ketidakaturan juga berlaku apabila ujian-ujian penting untuk memastikan seaworthiness, dengan izin Tuan Yang di-Pertua, kapal-kapal tidak dilaksanakan sebelum penerimaan aset. Ini dirisaukan berpotensi akan membahayakan nyawa anggota-anggota APMM itu sendiri sekiranya mereka dibiarkan menggunakan aset yang tidak dijamin kualiti dan kemampuan operasinya di laut.

Potensi yang ketiganya adalah potensi hasil tidak dikutip. Dato' Yang di- Pertua, terdapat beberapa kali potensi― ini potensi ini susah juga ini, betul ke tidak ini? Jadi, potensi hasil yang tidak direalisasikan atau denda tidak dikutip dibangkitkan dalam laporan ini. Sebagai contoh, adalah anggaran hasil tambahan sekurang- kurangnya RM115 juta boleh dikutip sekiranya nombor pendaftaran kenderaan yang disekat dan nombor tidak aktif ditawarkan kepada umum pada harga yang minimum.

draft • 3:35 PM

Datuk Che Mohamad Zulkifly bin Jusoh - Besut

Jadi, angka ini mewakili kerugian sekitar tujuh peratus daripada jumlah sebenar yang dikutip antara 2022 ke 2024 iaitu RM1.648 bilion. Jadi, kerugian daripada potensi hasil ini menunjukkan kelemahan sistem mySIKAP dan juga SOP dalam JPJ yang seharusnya diberikan perhatian oleh kerajaan untuk ditambah baik keberkesanannya dan LKAN juga memperincikan kerugian daripada denda dan sewa tidak dikutip seperti berikut. APMM dilaporkan sejumlah RM2.27 juta denda lewat tidak dikutip. MOF, RM54.51 juta penalti kelewatan kenderaan konsesi tidak dikutip dan LLM dan juga JKPTG sebanyak RM96,000 sewa pajakan tidak dikutip.

Jadi, secara keseluruhannya, laporan menunjukkan Akaun Belum Terima hasil melonjak kepada RM44.55 bilion tahun 2024 berbanding RM39.52 bilion tahun 2023 iaitu peningkatan sebanyak 12.8 peratus. Jadi, sebanyak RM20.6 juta bilion daripadanya melebihi enam tahun dan berisiko dihapus kira. Jadi, angka-angka ini mungkin kelihatan kecil jika dilihat secara berasingan. Namun secara keseluruhannya ia mencerminkan satu pola kelemahan yang asas dalam tatakelola kewangan kerajaan. Setiap potensi hasil yang tidak direalisasikan, setiap denda yang tidak dikutip dan setiap sewa yang tidak dikutip juga terlepas begitu saja, bermaksudnya ialah kehilangan sumber untuk rakyat sama ada dalam bentuk kemudahan awam, pendidikan atau keselamatan.

Maka, kerajaan wajar memberi keutamaan kepada pemerkasaan sistem pemantauan hasil dan juga penguatkuasaan penalti supaya wang rakyat tadi tidak terus hilang. Bukan kerana kecurian tapi kerana kealpaan pentadbiran.

Dato’ Yang di-Pertua, yang akhirnya Laporan Ketua Audit Negara ini membuktikan bahawa walaupun slogan ‘MADANI Bekerja’ gah diucapkan, hakikatnya pengurusan kewangan kerajaan masih sarat dengan isu pengendalian aset, penguatkuasaan kontrak yang longgar dan kegagalan merealisasikan potensi hasil kerajaan. Ini bukan soal politik, tetapi soal kebertanggungjawaban fiskal yang kritikal di pihak kerajaan yang wajib ditangani.

Bukanlah, maknanya kami berdebat di sini, bukan bermaksud kami menyalahkan kerajaan. Jadi, bila dibentangkan LKAN ini, makna kita, tujuan kita adalah untuk berbahas dan menegur apa yang salah, tapi masalah ada penjilat- penjilat leher di dalam Dewan ini menuduh kita bermacam-macam.

[Tepuk] Kita berbahas, kalau nak jilat pun jilatlah tapi janganlah sampai menuduh orang macam- macam ya.

Jadi, maknanya banyak lagi. Jadi, perkara-perkara yang berlaku ini mungkin dari segi tatakelola. Tatakelola yang tidak betul, yang disebut-sebut oleh PM kita, tatakelola, tatakelola, mana tatakelola? Ini yang saya nak nyatakan bahawa, akhir sekali, saya ucapkan terima kasih kepada Yang di-Pertua lagi sekali kerana membenarkan saya untuk berbahas. Terima kasih.

draft • 3:40 PM

Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato' Mohd Nor

Terima kasih Yang Berhormat Besut. Berikut, saya mempersilakan Yang Berhormat Tanjong Karang.

draft • 3:40 PM

Kapten Dato’ Dr. Zulkafperi bin Hanapi (B) - Tanjong Karang

Assalamualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh. Terima kasih Tuan Yang di- Pertua kerana memberi saya ruang untuk turut membahaskan LKAN 2025.

Tuan Yang di-Pertua, Tanjong Karang ingin merakamkan penghargaan kepada Jabatan Akauntan Negara Malaysia atas pembentangan Laporan Akauntan Negara Siri 3/2025. Laporan ini amat signifikan kerana ia menjadi instrumen utama dalam memastikan tadbir urus kewangan negara berjalan secara telus, efisien dan berakauntabiliti.

Tanjong Karang juga berpandangan bahawa laporan ini menunjukkan dua perkara penting. Yang pertama, sistem audit dan akauntan kita masih berfungsi dengan baik. Yang kedua, laporan ini berani menzahirkan kelemahan pentadbiran kewangan yang perlu diperbetulkan dengan segera. Namun, yang selalu saya tekankan, laporan hanya bermakna jika diikuti dengan tindakan. Tanggungjawab utama kita bukan lagi penemuan, tetapi pada tindakan susulan dan pelaksanaan pembetulan.

Secara keseluruhannya, prestasi kewangan Kerajaan Persekutuan tahun 2024 bertambah baik dengan penurunan defisit dan nisbah defisit kepada KDNK berbanding tahun 2023. Pada tahun 2024, defisit tersebut telah menunjukkan penurunan sebanyak RM12.224 bilion kepada RM79.166 bilion berbanding RM91.390 bilion pada tahun sebelumnya. Nisbah defisit kepada KDNK turut berkurang kepada 4.1 peratus berbanding 5.0 peratus pada tahun 2023 dan lebih baik daripada sasaran 4.3 peratus yang ditetapkan dalam Belanjawan 2024.

Pencapaian ini meletakkan asas kukuh untuk mencapai sasaran defisit jangka sederhana di bawah 3 peratus.

Seterusnya Tanjong Karang akan pergi kepada isu pembekalan kenderaan konsesi. Ini adalah dapatan utama iaitu kelewatan pembekalan kenderaan kerajaan oleh syarikat konsesi melibatkan 6,028 unit yang lewat antara 1 sehingga 508 hari.

Akibatnya, kerajaan menanggung kos tambahan hampir RM28.79 juta kerana terpaksa mengekalkan kenderaan yang tamat pajakan. Apa yang lebih membimbangkan, tiada rekod menunjukkan penalti dikenakan terhadap syarikat- syarikat yang terlibat. Walaupun nilai pelanggaran atau kerugian dianggarkan mencecah sekitar RM54.1 juta. Ini biasanya menunjukkan kelemahan dalam sistem penguatkuasaan, tadbir urus atau akauntabiliti kewangan. Di mana walaupun berlaku salah laku atau kecuaian, tiada tindakan dikenakan terhadap pihak-pihak yang bertanggungjawab.

Tuan Yang di-Pertua, dalam ekonomi moden, kelewatan dan kos tambahan seperti ini bukan semata-mata soal teknikal. Ia adalah petanda bahawa mekanisme pemantauan kontrak masih beroperasi secara manual dan reaktif. Di sini saya mencadangkan tiga langkah pembaikan konkrit.

Yang pertama, pelaporan interim kepada Parlimen, laporan status tindakan audit perlu dibentangkan setiap suku tahun, bukan hanya setahun sekali. Yang kedua, sistem pemantauan digital bersepadu, mewujudkan platform Contract Performance Tracker di bawah Akauntan Negara bagi menjejak prestasi kontrak kerajaan secara masa sebenar, real-time monitoring dengan izin. Yang ketiga, klausa penalti automatik, setiap kelewatan perlu mencetuskan penalti automatik melalui sistem tanpa bergantung kepada keputusan manual daripada pegawai.

Seterusnya, yang keempat, langkah ini tidak memerlukan birokrasi tambahan, sebaliknya mengurangkan risiko kebocoran dan melancarkan proses kawalan. Kita perlu melihat laporan audit ini bukan sekadar sebagai teguran tetapi sebagai alat pembelajaran institusi.

Tindakan tatatertib atau pembetulan tidak seharusnya bersifat menghukum semata-mata. Sebaliknya menjadi mekanisme pembaikan berterusan, continuous improvement dengan izin, dalam perkhidmatan awam. Saya yakin sekiranya setiap kementerian menubuhkan unit pemantauan audit dalaman yang aktif, banyak kelemahan dapat diselesaikan sebelum ia menjadi isu nasional.

Tuan Yang di-Pertua, integriti kewangan negara adalah asas kepercayaan rakyat terhadap kerajaan. Kelemahan dalam pelaksanaan kontrak mesti diperbetulkan melalui sistem yang berdisiplin dan berasaskan data. Laporan Akauntan Negara ini bukan sekadar dokumen post-mortem tetapi peluang untuk kita sama-sama memperkukuhkan budaya pengurusan kewangan yang profesional, telus dan bertanggungjawab.

Dengan itu, saya menyeru semua teguran di dalam laporan ini diterjemahkan kepada tindakan yang terukur dan dilaporkan kembali kepada Parlimen secara berkala. Sekian, Tanjong Karang mohon menyokong. *Wabillahi taufiq wal hidayah.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.*

draft • 3:44 PM

Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor

Waalaikumussalam. Berikut dipersilakan Yang Berhormat Maran.

draft • 3:50 PM

Dato’ Sri Dr. Haji Ismail bin Abd Muttalib - Maran

Bismillahirrahmanirrahim, Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam sejahtera. Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, kerana izinkan saya untuk membahaskan Laporan Audit Ketua Audit Negara 3/2025.

Dato’ Yang di-Pertua, Laporan Ketua Audit Negara ini membuktikan bahawa kita mempunyai sistem dan prosedur yang mantap. Audit dibuat setiap tahun, lengkap dengan teguran dan syor penambahbaikan. Namun, persoalan besar tetap sama, mengapa masalah urus tadbir masih berulang? Jawapannya, bukan kerana sistem kita lemah tetapi kerana pelaksanaan tindakan masih tidak tegas dan tidak menyeluruh. Banyak teguran hanya kekal di atas kertas tanpa keseriusan untuk memperbaiki, memperbetul kelemahan yang sama dari tahun ke tahun.

Dato’ Yang di-Pertua, saya tidak menuding jari kepada sesiapa tetapi realitinya jelas. Banyak ikan jerung terlepas, sementara ikan kecil terus dikunyah- kunyah tanpa belas kasihan dan dijatuhkan maruah mereka. Pegawai bawah ditegur tetapi keputusan di peringkat atas jarang dipersoal. Kalau kita mahu mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap integriti kerajaan, keberanian untuk menegakkan akauntabiliti mesti bermula dari atas. Audit bukan ritual tahunan. Ia sepatutnya menjadi cermin keberanian politik untuk memperbetulkan sistem, bukan sekadar menampal retak yang sama setiap tahun. Jangan sia-siakan penat lelah dan pengorbanan pegawai-pegawai kerajaan, khususnya Jabatan Audit Negara.

Dato’ Yang di-Pertua, saya ingin menyentuh beberapa perkara dalam membahaskan Laporan Audit ini. Isu strategik menyentuh tentang negeri Pahang, Dato’ Yang di-Pertua. Defisit perbelanjaan, belanjawan dan kebergantungan tinggi kepada hasil tidak berulang. Tahun 2024, Pahang mencatat kurangan RM128.17 juta berbanding lebihan RM7.16 juta pada tahun 2023. Hasil negeri jatuh 6.6 peratus, terutama hasil bukan cukai, kurang RM113.19 juta, merangkumi premium tanah, royalti hutan dan denda.

Persoalan ini memandangkan Pahang mencatat defisit RM128.17 juta dan hasil negeri jatuh 6.6 peratus. Apakah langkah Kerajaan Persekutuan untuk menilai semula formula agihan hasil Persekutuan kepada negeri, khususnya bagi negeri pengeluar sumber seperti Pahang yang bergantung kepada premium tanah dan hasil hutan? Apakah pelan jangka panjang Kerajaan Persekutuan untuk memperkukuhkan tadbir urus fiskal antara negeri dan Pusat? Contohnya, melalui perkongsian data hasil audit bersama atau latihan teknikal bagi memperkukuh keupayaan kewangan negeri.

Negeri kehilangan fleksibiliti fiskal dan sukar membiayai projek sosial serta infrastruktur tanpa pinjaman. Ia memburukkan imej fiskal di mata pelabur dan Kerajaan Persekutuan. Risiko defisit berulang setiap dua hingga tiga tahun jika struktur hasil tidak diperbaharui.

Kelemahan tadbir urus projek pembangunan menyebabkan pelaksanaan projek amat tidak membanggakan. 49 peratus projek pembangunan Rancangan Malaysia Kedua Belas siap tetapi Dato’ Yang di-Pertua, lebih 50 peratus projek masih tertangguh dan belum dilaksanakan. Persoalannya, daripada jumlah keseluruhan projek RMK12, hanya 49 peratus yang siap, manakala lebih 50 peratus masih tertangguh. Apakah punca untuk kelewatan ini?

Adakah ia disebabkan kelemahan perancangan, masalah peruntukan, kapasiti kontraktor, atau kelewatan kelulusan teknikal? Atau sengaja digagalkan kerana politik kepartian?

Jika ya, ini satu pengkhianatan jabatan kepada rakyat. Pelaksanaan Hospital Maran umpamanya, adalah satu contoh yang cukup relevan pada hari ini. Dua kali dibatalkan kerana pertukaran kerajaan akibat struktur politik. Kelewatan melaksanakan projek boleh menjejaskan kualiti perkhidmatan awam, jalan, air, infrastruktur. Menjejaskan keselesaan hidup rakyat serta di samping masalah- masalah sosial yang lain.

Dato’ Yang di-Pertua, saya ingin juga bertanyakan, berapa banyak projek ataupun harta kerajaan yang telah dibina tapi tidak terus diurus dengan baik? Saya ingin bertanya, kuarters kerajaan contohnya. Terdapat di mana-mana kuarters kerajaan yang terbiar dan tidak diurus. Berapa banyak jumlah kuarters kerajaan terbiar di seluruh negara? Apakah perancangan kerajaan dalam menangani isu ini dan apakah perancangan kerajaan dalam membangunkan tanah-tanah yang terletaknya kuarters-kuarters kerajaan?

draft • 3:50 PM

Dato’ Rosol bin Wahid - Hulu Terengganu

Maran.

draft • 3:50 PM

Dato’ Sri Dr. Haji Ismail bin Abd Muttalib - Maran

Sila.

draft • 3:50 PM

Dato’ Rosol bin Wahid - Hulu Terengganu

Berkaitan dengan kuarters- kuarters kerajaan ini, saya rasa banyak dah perkara ini dibangkitkan sebelum ini, Tuan Yang di-Pertua. Kuarters-kuarters kerajaan, contohnya macam kuarters guru yang terbiar. Dapatan audit dibuat tapi sehingga sekarang masih belum lagi tindakan ataupun apa-apa.

[Tidak jelas] diambil untuk nak mengisi kekosongan tersebut. Apa pandangan Maran? Terima kasih.

draft • 3:50 PM

Dato’ Sri Dr. Haji Ismail bin Abd Muttalib - Maran

Terima kasih.

Masukkan dalam ucapan saya…

draft • 3:50 PM

Dato’ Rosol bin Wahid - Hulu Terengganu

Hulu Terengganu.

draft • 3:50 PM

Dato’ Sri Dr. Haji Ismail bin Abd Muttalib - Maran

Oh, Hulu Terengganu, sorry. Dan saya minta kerajaan ambil tindakan selaras dengan harapan saya.

Pengurusan aset dan akauntabiliti agensi yang lemah. Perolehan artifak koleksi bernilai RM0.5 juta dibuat tanpa kelulusan lembaga pengarah dan tidak — penyelenggaraan pencegahan bagi aset bernilai RM11.6 juta.

Sebahagian agensi tidak menetapkan had nilai kelulusan, malah pembayaran pendahuluan kepada pembekal melebihi kadar dibenarkan. Apakah akan terjadi jika Rang Undang-undang Perolehan yang baharu diluluskan baru-baru ini memberikan kuasa penuh kepada Menteri Kewangan bagi membuat apa juga keputusan tentang kewangan negara?

Dato’ Yang di-Pertua, beberapa isu yang saya ingin sentuh tentang Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan. Penguatkuasaan kontrak dan senarai hitam. Penamatan senarai hitam kontraktor KPKT. Berapakah jumlah kontraktor di bawah KPKT yang telah, akan ditamatkan atau disenarai hitam sepanjang RMK12?

Selaras dengan Pekeliling Perbendaharaan PK4.5, Tatacara Pengurusan Projek Sakit. Nyatakan mengikut tahun, negeri dan kategori kesalahan. Apakah syor Audit terkini yang telah dilaksanakan oleh KPKT bagi projek pembangunan terbengkalai, sakit dan adakah laporannya diterbitkan untuk semakan umum, tarikh penerbitan, pautan dan sebagainya?

Perlindungan pembeli dan sokongan pembiayaan. Penyusunan semula pinjaman dan pusat sehenti. Apakah statistik permohonan penjadualan semula pinjaman bank yang telah difasilitasikan KPKT, khusus pembeli projek sakit?

Nyatakan bilangan kes, nilai pinjaman, kadar kelulusan, masa proses. Adakah one stop center berfungsi dengan berkesan setakat ini?

Dato’ Yang di-Pertua, apakah syarat kelayakan dan due diligence baru yang diperketatkan pasca pengalaman projek sakit tergendala? Contoh, nisbah modal kerja minimum, track record penyerahan CCC dan juga performance bond.

Dasar build and sell, kajian perintis. Sejauh manakah kajian kebolehlaksanaan model build and sell ini secara besar-besaran dibuat untuk perumahan rakyat, memandangkan kadar projek sakit kekal membimbangkan? Jika ya, nyatakan skop, lokasi perintis, garis masa dan metrik kejayaan.

Apakah perancangan memperkukuh Akta Pemajuan Perumahan dan peraturan perlindungan pembeli, pemendekan pemanjangan munasabah defect liability dan apakah tindakan penalti kelewatan lebih tegas penguatkuasaan jaminan kualiti kepada projek-projek?

draft • 3:50 PM

Dato’ Rosol bin Wahid - Hulu Terengganu

Maran, sekali lagi. Maran, boleh?

draft • 3:50 PM

Dato’ Sri Dr. Haji Ismail bin Abd Muttalib - Maran

Dah habis dah.

draft • 3:50 PM

Dato’ Rosol bin Wahid - Hulu Terengganu

Masa panjang lagi?

draft • 3:50 PM

Dato’ Sri Dr. Haji Ismail bin Abd Muttalib - Maran

Sikit lagi.

Berdasarkan kepada…

draft • 3:50 PM

Dato’ Rosol bin Wahid - Hulu Terengganu

Boleh? Tak boleh?

draft • 3:50 PM

Dato’ Sri Dr. Haji Ismail bin Abd Muttalib - Maran

Boleh sikit. Oh, sila. Hulu Terengganu. Sikit sahaja.

draft • 3:50 PM

Dato’ Rosol bin Wahid - Hulu Terengganu

Okey, Tuan Yang di-Pertua.

Sikit sahaja. Tadi Maran ada mengatakan bahawa di awal ucapan, mengatakan jerung besar terlepas, yang kecil dikunyah-kunyah. Boleh Maran beri contoh pada hal tersebut? Terima kasih banyak.

draft • 3:50 PM

Dato’ Sri Dr. Haji Ismail bin Abd Muttalib - Maran

Banyak Yang di-Pertua.

Ada Yang di-Pertua.

[Ketawa] Nanti saya bincang dengan Hulu Terengganu kemudian.

Dato’ Yang di-Pertua, status projek sakit lewat jadual, punca kelewatan, tindakan spesifik. Berdasarkan dapatan sehingga 31 Disember 2024, terdapat 11 projek KPKT berstatus lewat jadual dan sakit. Mohon Menteri jelaskan dengan terperinci, apakah strategi komunikasi khusus yang telah dilaksanakan oleh KPKT untuk memastikan pembeli sentiasa mendapat maklumat terkini tentang status projek, hak mereka serta langkah penyelesaian?

draft • 3:50 PM

Dato’ Sri Dr. Haji Ismail bin Abd Muttalib - Maran

[Dato’ Indera Mohd Shahar bin Abdullah (Paya Besar) **mempengerusikan Mesyuarat****] Yang akhir, berapa banyak jumlah maklum balas diberikan? Berapa peratusan pembeli yang menyatakan mekanisme penyelesaian oleh KPKT adalah memadai dan berpihak kepada mereka? Apakah status pemulihan projek-projek ini menjelang penghujung RMK12? Garis masa baharu, cash flow plan, sumber pembiayaan pemulihan. Dan adakah audit kemajuan berkala diadakan dengan KPI serta penerbitan awam? Ya...

[Ketawa] Dato’ Yang di-Pertua, minta maaf, sikit masa.

Terima kasih banyak. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

draft • 4:00 PM

Dato’ Indera Mohd Shahar bin Abdullah - Paya Besar

Terima kasih Yang Berhormat Maran. Berikutnya Yang Berhormat Rasah, lapan minit.

draft • 4:00 PM

Tuan Cha Kee Chin - Rasah

Terima kasih Dato’ Yang di-Pertua atas peluang yang diberikan kepada saya untuk turut serta dalam membahaskan Laporan Ketua Audit Negara 3/2025 yang mengaudit beberapa agensi pada tahun lepas. Ini merupakan satu lagi bukti reformasi institusi. Bukan setakat slogan, tetapi dilaksanakan, dipraktikkan dengan telus dan secara berterusan dalam Parlimen kita apabila Laporan Ketua Audit Negara bukan setakat diletakkan dan— dibentang dan diletakkan saja, tetapi dibenarkan semua Ahli Yang Berhormat daripada kedua-dua pihak untuk sama-sama membahas dan memberikan apa-apa pandangan dan seterusnya, dijawab oleh setiap kementerian yang terbabit.

Bagi saya, amalan sebegini amat mustahak. Dia bukan setakat menandakan kerajaan mengotakan janji untuk mereformasi kan institusi yang sedia ada untuk menambahkan taring, memberikan kuasa yang lebih kepada Jabatan Audit Negara melalui pindaan RUU Akta Audit pada tahun lepas, tetapi lebih penting adalah untuk memperbaiki segala kelemahan dalam tatakelola prosedur kerajaan yang sedia ada agar memastikan bahawa semua dana kerajaan sentiasa digunakan, disalurkan dengan cara yang betul untuk manfaat dan kepentingan rakyat Malaysia.

Dan lebih penting adalah selepas adanya Laporan Ketua Audit Negara, selepas dibahas dan dijawab esok oleh kementerian-kementerian yang terbabit, saya berharap supaya semua cadangan ya, syor daripada Laporan Ketua Audit Negara dapat dipraktikkan selepas ini, supaya apa saja kelemahan, kelompongan yang berlaku sebelum ini tidak diteruskan. Itulah yang pentingnya kalau ada Laporan Ketua Audit Negara.

Saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada kerajaan kerana prestasi kewangan Kerajaan Persekutuan pada tahun 2024 bertambah baik. Ini ayat yang dalam laporan audit itu sendiri yang mengatakan bahawa penurunan defisit sebanyak RM12.24 bilion, sesuatu yang sangat baik kalau kita tengok nisbahnya.

Nisbah defisit kepada KDNK kita pada tahun lepas, 2024 adalah 4.1 peratus berbanding dengan tahun 2023; lima peratus, tahun 2022; 5.5 peratus dan tahun sebelumnya, 2021; 6.4 peratus.

Maknanya nisbah defisit kepada KDNK kita semakin menurun, semakin baik ekonomi kita. Apa tidaknya, kerana Kerangka Ekonomi MADANI yang dilaksanakan oleh kerajaan telah berjaya mengawal inflasi. Mata wang kita dalam keadaan yang kukuh berbanding dengan mata wang asing dunia, di samping pelaburan daripada luar terus meningkat dan juga indeks KLCI kita terus stabil pada tahap yang meyakinkan. Keadaan sebegini sudah tentunya akan membolehkan ekonomi Malaysia dalam keadaan yang sentiasa meyakinkan pelabur asing untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang menarik mereka.

Walaupun banyak pujian ataupun banyak perkara yang baik dalam laporan audit ini, tetapi ada beberapa teguran yang perlu diberikan perhatian. Saya nak pilih dua saja sini. Yang pertama, melibatkan Kementerian Luar ‘Negara’ iaitu audit telah melakukan pengauditan fizikal di pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Canberra, Australia, Singapura, Wellington, NZ dan juga Kedutaan Besar Malaysia di Hanoi, Vietnam. Ya, kita nampak ada beberapa perkara yang dinyatakan.

Tapi, persoalan pertama saya adalah peruntukan mengurus untuk keempat- empat pejabat wakil asing kita yang terlibat ini, di Hanoi, di Singapore, di Canberra, di Wellington, jumlahnya adalah 23.58 juta, tetapi yang digunakan hanya 13.89 juta sahaja iaitu hanya setakat 58, 59 peratus. Kenapa begitu? Adakah ia berlaku disebabkan keadaan yang tidak di luar jangka ataupun disebabkan perjawatan?

Sebab saya nampak dalam laporan audit itu kata ada masalah perjawatan.

Maknanya, ada sesuatu yang kita perlu perbaiki. Sebab kalau dia melibatkan perjawatan, saya harap boleh diisi sebab pejabat kedutaan ataupun High Comm kita di luar negara melambangkan kedaulatan wakil rasmi kita di negara asing. Jadi, saya harap perkara ini boleh diberikan perhatian yang penting, yang fokus, yang serius daripada Kementerian Luar ‘Negara’.

Dan saya nak sebut beberapa teguran berkenaan dengan High Comm dan Kedutaan Besar ini, ia sebenarnya banyak kepada perkara yang bagi saya perlu diperbaiki dan tak sepatutnya berlaku. Ia tidak merekodkan aset dengan betul ataupun gagal merekodkan. Dan juga ada satu, saya berikan satu contoh, ini saya sebut secara spesifik. Pejabat Perwakilan Malaysia di Canberra, bagi empat kerja- kerja penyelenggaraan landskap di Rumah Malaysia dan Canseleri yang berjumlah RM27,000.

Sebenarnya, di Australia itu kalau 27,000 kita, mungkin dalam 10,000 saja duit dia. Kerja telah dilakukan, bukan tak buat kerja. Kerja telah dilakukan, cuma tidak ada perincian kerja dan jumlah jam kerja. Jadi, perkara sebegini saya rasa kalau kita mempunyai staf yang cukup, perjawatan semua diisi, kita boleh atasi masalah sebegini. Jadi, memang benda ini dah buat sebab kebetulan lawatan JKPK ke Australia pernah melawat High Comm kita di Canberra pada bulan Jun lepas.

Dan saya juga nak ambil kesempatan ini ucapkan terima kasih dan syabas kepada kerajaan, khasnya Kementerian Luar ‘Negara’ yang telah memberikan peruntukan khusus kepada kedutaan kita di Brussels, Belgium yang sekarang ini mula buat apa— baik pulih, renovation. Baru-baru ini saya sempat bertemu dengan Duta Besar kita di Belgium dan beliau sangat menghargai perkara ini. Cuma saya nak tanya, bagaimana dengan kedutaan lain? Sebab kedutaan ini mustahak, dia lambang negara kita. Dia menunjukkan negara kita serius dan menjadi pemimpin di peringkat dunia.

Dan perkara kedua yang saya nak tegur sikit adalah berkenaan dengan prestasi pelaksanaan projek pembangunan RMK12. Pada Rolling Plan 4 (RP4) tahun 2024, sejumlah 8,755 projek yang melibatkan semua kementerian. Ada yang banyak, ada yang kurang. Sudah tentu Kementerian Pendidikan Malaysia lebih 2,000 projek, paling banyak.

Saya nak fokus kepada projek lewat jadual ataupun mudahnya kita sebut projek sakit, ada sejumlah 157. Kalau kita ikutkan jumlah ataupun peratusannya, hanya setakat dua peratus daripada jumlah keseluruhan 8,755. Tapi bagi saya, kita jangan pandang remeh peratusan dua peratus yang kecil ini. Adalah menjadi tanggungjawab kita, semua agensi kementerian terbabit untuk memastikan projek sakit ini tidak berlaku pada masa akan datang. Saya nak sebut ini, saya nak sebut secara spesifik, Dato’ Yang di-Pertua. Saya minta sedikit masa tambahan. KPM ada 46 projek, KKDW 34, PETRA ada 12, KKM ada lapan.

KPM, saya percaya 46 projek itu melibatkan pembinaan sama ada pembinaan sekolah baru di tempat pembangunan baru ataupun bangunan baru untuk sekolah yang sedia ada. Ini mustahak, ini tak patut ada. Jadi, kena ada pemantauan, kena ada tindakan yang tegas. Kalau perkara itu silap kontraktor, kena buat cara yang sepatutnya, ambil tindakan tegas supaya projek tersebut boleh disiapkan dan kontraktor lain tidak terikut-ikut. Kalau kontraktor lain akan takut kalau kita tegas, sama ada dia mungkin yang pantau itu mungkin bukan KPM, mungkin KKR. Kena pastikan perkara ini sebab ini isu pendidikan anak-anak kita.

Yang keduanya, saya nampak PETRA ada 12 projek. Ini saya percaya projek tebatan banjir. Ini janganlah kita musim banjir kita nak bising, kata ini tak ada, itu tak ada. Tapi hari biasa, bukan musim tengkujuh. Tapi, kita kena pastikan projek ini siap sebelum musim tengkujuh.

draft • 4:00 PM

Tuan Cha Kee Chin - Rasah

Sama juga keadaannya dengan KKM, lapan projek. Sama ada melibatkan hospital atau klinik perlu disiapkan ikut jadual supaya perkara ini boleh dihindarkan.

Saya mohon cadangkan dengan adanya pindaan kepada Akta Profesion Undang-Undang 1976 pada tahun lepas, saya mohon Jabatan Audit Negara supaya audit Lembaga Kelayakan Profesion Undang-undang Malaysia sebab lembaga ini yang menguruskan peperiksaan Sijil Amalan Guaman (CLP).

Saya pernah tanya soalan tahun lepas dalam Dewan mulia ini yang dijawab oleh pihak Jabatan Perdana Menteri bahawa 17 tahun tak pernah diaudit. Saya tahu peperiksaan CLP ini. Saya pernah ambil peperiksaan CLP ini. Setiap tahun LPQB ini, dia kutip berjuta yuran peperiksaan. Mana pergi duitnya? Wajib, wajar diaudit supaya kita tahu ke mana. Dia gunakan dengan betul, kita tak salahkan dia tapi kena bagi tahu.

Perkara terakhir Dato’ Yang di-Pertua, adalah berkenaan dengan peruntukan MARRIS. Kita tahu itu adalah pemberian daripada Kerajaan Persekutuan kepada semua negeri berdasarkan jumlah panjangnya jalan raya di setiap negeri, yang pegawai utama adalah pegawai kewangan negeri. Saya difahamkan tahun lepas saja RM5.4 bilion untuk semua negeri dan untuk pihak negeri salurkan kepada agensi yang terbabit. Ia sangat mustahak.

Cuma saya harapkan ada satu pengauditan di peringkat Persekutuan.

Macam mana agihan dia, supaya kita boleh pantau. Ini jumlah sangat besar RM5.4 bilion. Satu jumlah yang sangat besar. Sering kali kita dengar jalan raya sini, rosak sana dan mendatangkan bahaya kepada rakyat kita, pengguna jalan raya kita. Jadi, untuk menghindari masalah ini, kita perlu tegas. Pastikan dana itu digunakan sebaiknya untuk keselamatan dan kebajikan rakyat kita.

Terima kasih kepada Dato’ Yang di-Pertua, atas sedikit masa tambahan tersebut dan saya berharap semua teguran Laporan Audit Ketua Negara dapat diambil sebagai satu teguran yang membina oleh semua agensi dan kementerian yang terbabit demi kebaikan bersama. Sekian, terima kasih.

draft • 4:10 PM

Dato’ Indera Mohd Shahar bin Abdullah - Paya Besar

Terima kasih Yang Berhormat Rasah. Berikutnya Yang Berhormat Pengkalan Chepa, lapan minit.

draft • 4:10 PM

Datuk Dr. Ahmad Marzuk bin Shaary - Pengkalan Chepa

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih kepada Dato’ Indera Yang di-Pertua kerana memberi peluang kepada saya untuk bangun menyentuh satu isu yang sangat besar yang berkaitan dengan amanah umat. Saya tak nak bercakap banyak, satu saja point-nya saya nak sebut tentang apa yang disebut dalam Laporan Ketua Audit Negara iaitu berkaitan dengan Urusharta Jamaah Sdn. Bhd. atau ringkasnya UJSB.

Syarikat ini ditubuhkan pada penghujung tahun 2018 pada era Kerajaan PH1.0 kononnya untuk menyelamatkan Tabung Haji. Namun hingga hari ini tahun 2025, hala tuju penyudahnya masih tidak jelas dan penuh tanda tanya. Yang Berhormat Dato’ Speaker pun maklum tentang perkara ini. Kita perlu bercakap jujur.

Tuan Yang di-Pertua, UJSB ditubuhkan di bawah Kerajaan Pakatan Harapan dengan tujuan memulihkan kedudukan kewangan Tabung Haji. Ketika itu banyak aset bernilai RM9.7 bilion termasuk pegangan dalam 106 syarikat tersenarai 29 hartanah, beberapa hotel yang dulu Hotel Tabung Haji sekarang dah bertukar kepada Hotel Raia, kalau tak silap saya dan aset-aset perladangan yang telah dipindahkan kepada (UJSB) Urusharta Jamaah Sdn. Bhd.

Sebagai ganti, UJSB menerbitkan dua sukuk berjumlah RM19.6 bilion yang ada dua tempoh matang. Satu, tujuh tahun dan satu 10 tahun, serta membayar tunai sebanyak RM300 juta menjadikan keseluruhan RM19.9 bilion. Tujuannya menampal jurang antara aset dan liabiliti Tabung Haji agar laporan kewangannya kembali mencatat lebihan aset. Namun hakikatnya, RM19.9 bilion ini bukan keuntungan. Ia adalah hutang yang mesti ditebus oleh UJSB kepada Tabung Haji.

Lebih membimbangkan, sukuk ini bersifat tanpa kupon, zero coupon sukuk, namun mempunyai nilai pulangan matang yang menyebabkan tanggungan kerajaan meningkat dari tahun ke tahun. Berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara siri 3/2025 pada muka surat 57, komitmen jaminan Kerajaan Persekutuan kepada UJSB meningkat kepada RM23.815 bilion bagi tahun 2024. Naik hampir RM0.70 bilion berbanding tahun sebelumnya. Ini membuktikan bahawa beban fiskal bukan semakin ringan tetapi semakin bertambah.

Setelah enam tahun berlalu Tuan Yang di-Pertua, sudah enam tahun berlalu.

Jumlah penebusan sukuk UJSB hanya berjumlah RM400 juta sahaja. Yang dikatakan RM19.9 bilion tadi, yang baru ditebus RM400 juta. Kira-kira dalam dua peratus daripada jumlah keseluruhan. Ini bermakna baki RM19.2 bilion masih belum ditebus. Dalam masa yang sama, nilai aset UJSB sekarang ini hanya sekitar RM9.7 bilion, maka wujud jurang hampir RM9.5 bilion antara sukuk dan nilai aset yang dipegang oleh UJSB. Soalnya, dengan jurang sebesar ini, bagaimana UJSB akan menebus sukuk menjelang matangnya sukuk pada tahun 2026, satu. Dan satu lagi sukuk pada tahun 2029, iaitu tujuh tahun dan juga 10 tahun.

Yang Berhormat Yang di-Pertua, izinkan saya jelaskan kronologi penting supaya Dewan ini faham konteks sebenar, kerana kadangkala bila bercakap tentang isu Tabung Haji UJSB ini, pihak kerajaan sendiri pun sentiasa memberikan jawapan bertulis. Tidak mahu berjawab secara lisan kerana mungkin lebih selesa begitu untuk tidak ada argument yang panjang.

Kronologinya pada Disember 2018, UJSB ditubuhkan oleh Kerajaan PH sebagai Syarikat Tujuan Khas (SPV) untuk memulihkan Tabung Haji. Mei 2019, UJSB menerbitkan dua sukuk bernilai RM19.6 bilion membayar RM300 juta tunai kepada Tabung Haji sebagai balasan pembinaan aset RM9.7 bilion. 2020 hingga 2022, Tabung Haji kembali stabil dengan hibah purata 3.10 diisytiharkan selama empat tahun berturut-turut. Namun, kestabilan itu diperoleh kerana liabiliti dipindahkan kepada UJSB, bukan hasil pulangan sebenar aset.

29 September 2023, Perdana Menteri (PMX), Tambun mengumumkan hasrat kerajaan untuk memulangkan semula aset-aset Tabung Haji yang dipegang oleh UJSB. Beliau menyatakan keyakinan terhadap tahap tadbir urus baharu Tabung Haji yang ada sekarang ini. 18 Februari 2025, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama telah memaklumkan di Dewan Rakyat ini bahawa rundingan pemulangan aset akan dimuktamadkan pada suku pertama tahun 2025 serta memberikan jaminan bahawa proses tersebut tidak akan menjejaskan kedudukan kewangan Tabung Haji mahupun kepentingan deposit.

Sekarang ini dah bulan 10. Suku pertama 2025 sudah pun lama berlalu.

Soalnya sehingga hari ini, pelan tindakan masih tidak kelihatan. Bagaimana pemulangan itu akan dilaksanakan? Bila ia akan berlaku dan dengan sumber dana apa jika jurang hampir RM9.5 bilion masih lagi wujud? Siapakah yang akan menanggungnya, UJSB kah atau Tabung Haji kah atau pembayar cukai kah, kita sebagai rakyat ataupun kerajaan yang akan membayar kah?

Tuan Yang di-Pertua, janji untuk memulangkan aset tanpa pelan penebusan yang jelas hanyalah retorik politik. Kita tidak boleh terus menipu diri dengan angka cantik di atas kertas, sedangkan beban sebenar disembunyikan di bawah karpet.

Rakyat dan pendeposit berhak tahu di mana pelan penebusan? Apa strategi pelaksanaan dan bila aset ini akan dikembalikan kepada tangan Tabung Haji? Saya dalam persidangan lepas pun telah bangkitkan, sampai sekarang saya tidak menerima jawapan daripada kerajaan tentang perkara ini. Bilakah? Kerana suku pertama 2025, sebagaimana dijanjikan oleh Menteri Agama dalam Dewan ini, tidak ada nampak bayang-bayangnya.

Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua, kita juga mesti menilai semula falsafah pengurusan aset Tabung Haji. Pada zaman PH, muncul cadangan pelupusan besar- besaran ladang Tabung Haji iaitu di bawah kelolaan Tabung Haji Plantations daripada 100 ribu hektar ladang hendak dikecilkan sekitar 24 ribu hektar sahaja, iaitu pengurangan hampir 75 peratus pegangan ladang Tabung Haji. Ini ibarat menjual angsa yang bertelur emas. Antara ladang terlibat ialah Bumi Suria Ventures dan Maju Warisan di Sarawak yang dicadangkan kepada— dijual kepada Tamaco Plantation di bawah harga pasaran dengan nilai RM170 juta. Lebih rendah daripada harga sebenar di pasaran.

draft • 4:12 PM

Datuk Dr. Ahmad Marzuk bin Shaary - Pengkalan Chepa

Apabila Perikatan Nasional mengambil alih kerajaan di bawah kepimpinan Pagoh pada waktu itu, kita telah membatalkan penjualan ladang itu. Dan kita telah memulihkan ladang itu: sehingga sekarang, saya tak tahulah apa status ladang itu?

Adakah masih berada di Tabung Haji Plantation ataupun senyap-senyap sudah pun beralih kepada tangan yang lain. Inilah falsafah dua pentadbiran.

Kerajaan PH melihat aset strategik sebagai liabiliti dan mudah memilih jalan pintas untuk jual, jual, jual aset ini. Kerajaan PN melihat aset ini sebagai potensi jangka panjang yang boleh dipulihkan dan menjana hasil untuk generasi akan datang.

Tabung Haji bukan milik kerajaan Tuan Yang di-Pertua, ia milik umat Islam.

Hasil jerih payah rakyat kecil yang menabung satu demi satu, seringgit demi seringgit, menguruskannya bukan hanya soal angka atau laporan kewangan, tetapi soal amanah, tanggungjawab di sisi Allah SWT. Maka UJSB bukan sekadar isu teknikal, ia adalah ujian kejujuran dalam menguruskan harta umat.

Justeru saya mendesak kerajaan agar mengambil langkah-langkah berikut.

Kita pembangkang yang konstruktif, bukan kita nak balun, kemudian kita nak lihat kemusnahan. Kita mencadangkan cadangan yang konstruktif iaitu: pertama, tubuhkan Jawatankuasa Khas Parlimen, bipartisan bagi menilai semula struktur prestasi UJSB termasuk strategi pelaburan, penilaian aset, risiko fiskal kepada kerajaan.

Bentangkan pelan penebusan sukuk berfasa lengkap dengan angka dan jadual tahunan yang jelas bagi menunjukkan komitmen sebenar kerajaan dalam menebus baki RM19.2 bilion. Ini duit pendeposit-pendeposit Tabung Haji. Wajibkan penerbitan laporan tahunan UJSB kepada umum dengan penilaian bebas (independent valuation) dan kemas kini penebusan sebenar supaya rakyat tahu kedudukan sebenar aset umat Islam ini.

Hentikan retorik pemulangan aset selagi tiada pelan tindakan yang konkrit dan dijamin tidak membebankan TH ataupun pendeposit. Pertimbangkan penstrukturan semula sukuk sama ada dengan melanjutkan tempoh matang, menukar sebahagian daripada pegangan ekuiti kerajaan ataupun melaksanakan heircut terhad, asalkan tidak menjejaskan kepentingan para pendeposit.

Akhirnya Tuan Yang di-Pertua, Laporan Ketua Audit Negara telah menzahirkan realiti sebenar, komitmen jaminan kerajaan – jaminan UJSB kini RM23.815 bilion, penebusan hanya RM400 juta dan jurang RM9.5 bilion masih tidak terjawab. Ini bukan masa untuk slogan dan pengumuman manis, tetapi masa untuk pelan konkrit dan tindakan berani. Jika kerajaan benar serius mahu mengembalikan maruah Tabung Haji, maka bentangkan pelan penebusan, laksanakan tindakan nyata dan kembalikan keyakinan para pendeposit dan umat Islam dalam negara kita.

Sekian, terima kasih Tuan Yang di-Pertua.

[Tepuk]

draft • 4:20 PM

Dato’ Indera Mohd Shahar bin Abdullah - Paya Besar

Terima kasih, Yang Berhormat Pengkalan Chepa. Berikutnya Yang Berhormat Arau, lapan minit.

draft • 4:20 PM

Dato’ Seri Dr. Shahidan bin Kassim - Arau

*Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh*, rakyat Malaysia, orang muda. Ketua Pemuda ada, Pengerusi PN ada. Speaker Paya Besar, terima kasih. Yang pertama sekali, mengulangi ucapan saya. Saya ingat sudah banyak kali saya ulang, tetapi jawapannya juga berulang tapi tindakan di lapangan kurang. Saya sering kali disebut kenapa tiap-tiap kali ucapan sebut fasal Beting Patinggi Ali?

Saya dah cerita, saya jumpa Premier Sarawak baru-baru ini, dia maklum dan beberapa tindakan yang wajar telah diambil dan pelbagai pihak telah dimaklum tentang kepentingan Beting Patinggi Ali. Kalau sudah habis rizab kita di mana-mana, Beting Patinggi Ali menunggu di tempat yang terbaik, tapi Beting Patinggi Ali, sekarang ini ada kapal asing di sana. Kapal Pengawal Pantai China berada di sana sejak 2013 sampai sekarang dan kapal-kapal kita pun berkawal bersama navy ada satu, APMM ada satu. Ini Yang Berhormat Speaker Paya Besar, ini berdasarkan masa pengalaman jadi menteri dulu. Saya tak pasti sekarang berapa, tapi saya mendapat maklumat sebab mana orang nak cerita dekat kami.

Akta Rahsia Rasmi, pegawai kerajaan tak nak bercakap dengan kami jadi saya tak tahu, saya masih dalam bertanya. Berapa kapal yang berumur 30 tahun ke atas? Ini ialah garis ukur yang dipakai di negara-negara maju, termasuk Jepun iaitu 30 tahun ke atas tak dipakai lagi, tapi 30 tahun ke atas kita baru nak pakai.

Contohnya, dua buah biji kapal yang dihadiahkan oleh Kerajaan Jepun kepada kita berumur 29 tahun masa itu. Sekarang dah mungkin dekat 40 tahun sebab saya pun tak jadi menteri dah dekat 10 tahun, jadi dekat 40 tahun. Jadi kapal itu masih diguna dan dia merupakan kapal terbesar APMM. Jadi soalan saya, berapa kapal yang berumur 30 tahun ke atas? Siapa nak jawab sat gi saya tak tau, saya— Kemudian berapa kapal yang berumur 30 tahun ke bawah? Sebab ini ialah termasuk dalam laporan audit, ya. Jadi soalan saya sekarang ni, berapa kapal yang diletakkan untuk berkawal di Beting Patinggi Ali? Kapal Pengawal China kalau kita lihat daripada atas helikopter, dia duduk tak bergerak apa. Tinggi mana ombak pun dia berada di situ, Laut China Selatan, 80 batu nautika daripada Bintulu. Bintulu pun sekarang makin popular ya. Okey, 80 batu nautika.

Jadi kapalnya begitu saja nampak. Kapal navy kita nampak begitu, walaupun kapalnya separuh daripada Kapal Pengawal China, tetapi bila tengok dua biji kapal APMM, nampak dia bergerak mengikut ombak. Jadi ternampak ada goyangan kapal itu menunjukkan bahawa ini ialah kapal kecil ataupun bot yang besar.

Jadi kita minta supaya kerajaan memerhatikan serta-merta dan jangan tunggu kapal tersebut berumur 30 tahun baru nak ganti. Sekarang ni kerajaan kena usahakan supaya kapal-kapal diganti serta-merta. Ini bukan untuk APMM termasuk navy. Saya tak payah sebut sebab navy ni mungkin penting nak bincang dari keselamatan. Tak elok dibincang secara terbuka tapi APMM, penguatkuasaan ni kena bincang, sebab kalau Yang Berhormat ada pernah membuat perjalanan waktu malam, daripada Kuching ke Kuala Lumpur, atau Kuala Lumpur ke Kuching, ataupun ke Kota Kinabalu, Yang Berhormat akan nampak lampu-lampu hijau, color hijau, di Laut China Selatan.

Itu ialah di kawasan Malaysia. Bot ini bukan bot Malaysia, ini bot negara asing terutamanya daripada Vietnam. Kalau kita nampak, kalau kita boleh bilang saja, sudah pasti hampir ratus bot color hijau, tapi APMM yang berkawal, yang mampu untuk nak tangkap mungkin empat atau lima biji sahaja. Jadi, kita cadangkan supaya penggantian segera. Jangan jawab ‘akan’ lagi, tak payah jawab pun tak apalah sebab kalau jawab ‘akan’, tak ada akan punya, buat serta merta.

Yang Berhormat Speaker sebagai Pengerusi Backbencher yang hebat dan dahsyat, tolong tegur sebab Yang Berhormat duduk tempat itu boleh tegur, dok kat bawah orang takkan dengar dah. Boleh tegur supaya menteri bagi jawapan yang tegas bahawa kapal-kapal akan diganti. Dia kata macam mana nak ganti, kena panggil tender.

Rang Undang-undang Perolehan baru-baru ini baru diluluskan. Kuasa Menteri Kewangan yang tidak terbatas terutamanya dari segi keselamatan, boleh membuat penggantian serta-merta, sebab kalau tunggu 30 tahun baru nak oder, lagi tahun depan lima biji kapal, bererti lima biji akan mengambil masa dua tahun, tiga tahun. Jadi sampai waktu mungkin berlaku peperangan dan sebagainya, takkan kita nak beritahu dekat musuh, boleh tak tunggu sekejap, kapal saya belum siap.

Jadi ini adalah satu benda yang melucukan, tapi ini kebenaran, realiti rakyat Malaysia. Kadang-kadang bila saya cakap, kata seronok saya cakap. Tak! Ini fakta!

Fakta bahawa kapal penguatkuasa tak cukup. Yang ada, ini laporan audit ya, kapal lama yang ada. Wahai rakyat Malaysia, 61 peratus daripada perbelanjaan, RM229.93 juta dibelanjakan untuk kapal yang berusia 30 tahun.

Bererti kapal 30 tahun ni kalau kita boleh order kapal, mungkin tiga biji kapal, tapi digunakan untuk maintenance. Tambahan RM78 juta untuk bot berusia 11 sehingga 20 tahun. Walaupun bot itu bot baharu, muda, tetapi dengan lautan ini dia terpaksa – kita kena buat maintenance dari masa ke semasa. Ini menunjukkan bahawa APMM masih bergantung kepada aset lama yang mana berisiko tinggi dari segi fungsi dan keselamatan juga kos penyelenggaraan. Jadi persoalannya, apakah kerajaan bercadang untuk menggantikan aset usang ini serta merta dibandingkan terus menyusu kos refit yang semakin membebankan. Bagaimanakah kerajaan nak selesai kes Beting Patinggi Ali?

draft • 4:23 PM

Dato’ Seri Dr. Shahidan bin Kassim - Arau

Beting Patinggi Ali bukan tuntutan bertindih. Ada bekas Perdana Menteri dulu menyebut ini bekas — ini adalah tuntutan bertindih. Mana boleh bertindih kawasan Malaysia. Kawasan Malaysia kalau orang masuk, menceroboh. Kalau bertindih di atas gigi sempadan, dia panggil menceroboh. Gigi sempadan kita adalah 200 batu nautika. Ini dia masuk ke 80 batu nautika. 4,000 batu daripada Hainan, negeri yang terdekat dengan Malaysia.

Jadi, bagaimana kita kata ini tuntutan bertindih? Ini pencerobohan. Dia mesti dikeluarkan serta-merta dan usaha diplomatik dibuat menyuruh mereka keluar daripada 2013. Dia hanya keluar sekali selama sebulan iaitu bila Perdana Menteri mereka melawat Malaysia, dia keluar sebulan, tetapi datang balik. Jadi, kena pastikan Wisma Putra, Kementerian Pertahanan, kerajaan demi berganti kerajaan, tetapi masalah ini terus mengganggu kita. Saya dah berhenti jadi Menteri pun, sampai sekarang ini terpaksa menyebut. Saya rasa belum habis dilaksanakan tiba- tiba kerajaan ditukar. Kalau tidak, wallahualam ya.

Kemudian, perancangan refit. Penyenggaraan yang agak lemah. Saya tanya, siapa bertanggungjawab? Menteri kena ambil tanggungjawab tentang perkara ini.

Kita juga — audit juga mendedahkan bahawa terdapat RM2.27 juta masih belum dikutip daripada kontraktor yang gagal siapkan kerja mengikut jadual. Jadi, saya minta supaya kontraktor tersebut kita tak lindungi, kita kena buat tuntutan dan juga terdapat kelemahan kawalan pembayaran. Terdapat tuntutan RM32.34 juta tanpa invois, bayaran dibuat tanpa dokumen yang sah, RM59,800 dibayar untuk peralatan tidak dibekalkan, RM144,536 dibayar untuk peralatan tidak mengikut spesifikasi. Ini adalah satu bentuk kebocoran jelas malah seakan lesen mencuri di bawah sistem kontrak kerajaan.

Maka, saya mencadangkan supaya sekali lagi kapal diganti. Kemudian, refit mestilah buat secara menyeluruh dengan garis masa dan kos terkawal. Kutip segera duit penalti RM2.27 juta daripada kontraktor yang culas. Audit forensik terhadap bayaran tanpa invois dan peralatan tidak dibekalkan. Saya tak mahu, ini kawan- kawan saya cadang suruh blacklist. Saya ini, blacklist ni apakah — apa makna blacklist? Kadang-kadang kerajaan kena bagi tafsiran apa makna blacklist. Kalau blacklist kita nak hukum dia suruh dia terjun telaga, tak apa. Kalau sekiranya dalam Malaysia ni apa makna blacklist? Apa makna buang — anak-anak yang nakal buang sekolah, apa makna? Saya tak faham. Kalau dia buang sekolah, you campak dia dalam masyarakat atau menambah beban kepada sekolah yang dipindahkan. Ini mungkin juga blacklist. Dia nak jadi apa? Dia mungkin jadi bankrap ataupun sebagainya. Blacklist ni bagi tafsiran yang betul. Sekarang ini kalau kita bagi blacklist kepada Menteri yang terlibat dengan pelbagai kesalahan, apa nak kata? Kita tak buat apa pun, kita kata bagi amaran yang keras.

Akhir sekali Speaker, dah masuk lapan minit. Seminit ya, fasal Pulau Mabul sebab Yang Berhormat pun nak dengar. Pulau Mabul ini, kontraktor telah gagal tetapi pelantikannya tak dibuat sampai sekarang. Jadi, kita menunggu. Ini keselamatan rakyat Malaysia. Ini soal keselamatan, tak boleh tunggu. Kontraktor ini gagal, dia kena lantik serta-merta. Jangan buat perangai. Ada satu kes kepada sebuah sekolah sukan, kontrak itu gagal. Maka, konsultan telah mencadangkan kontraktor yang sama dipilih pula. Gagal lagi, tiga kali gagal. Sekarang masuk gagal yang keempat sehingga saya pernah dengan kawan-kawan mencadangkan supaya bagi kami tolong buat, kami perhabis, siapkan walaupun rugi. Kementerian tak percaya sebab dia percaya melantik kontraktor yang gagal demi gagal.

Jadi, kes Pulau Mabul, saya minta supaya dilantik serta-merta kontraktor.

Kontraktor ramailah. Macam kalau baling dengan batu jumpa seoranglah. Boleh, ramai. Boleh gunakan Rang Undang-undang Perolehan yang telah kita luluskan untuk membolehkan. Soal keselamatan ini tidak boleh ditolak ansurkan.

Terima kasih Speaker. Walaupun nampak gelisah, jangan gelisah. Saya tahu bila saya nak berhenti. Jangan suruh saya berhenti, tak manis sebab saya dah lama di sini. Terima kasih banyak-banyak untuk semua rakyat Malaysia. Terima kasih. Tap, tap skrin guys. Assalamualaikum warahmatullah.

draft • 4:30 PM

Dato’ Indera Mohd Shahar bin Abdullah - Paya Besar

Terima kasih Yang Berhormat Arau. Saya persilakan pembahas yang terakhir, Yang Berhormat Kota Melaka.

draft • 4:30 PM

Tuan Khoo Poay Tiong - Kota Melaka

Terima kasih Timbalan Speaker memberi ruang kepada saya untuk membahas audit report. Timbalan Speaker, saya memang setuju dengan apa yang disebut oleh Arau sebelum saya mulakan ucapan saya iaitu kita perlu beli kapal yang baru untuk gantikan kapal yang lama.

Cuma persoalannya, kenapa bila dia jadi kerajaan dia tak beli kapal baru?

Sekarang jadi pembangkang baru nak perjuangkan, nak uar-uarkan, nak beli kapal baru. Sebelum itu juga saya nak minta supaya — memandangkan Laporan Audit ini adalah satu penyata yang penting, saya ingin cadangkan supaya dibekalkan laporan tersebut secara fizikal kepada setiap Ahli Parlimen. Kita tahu sekarang kita pergi ke paperless di mana penyata banyak yang tidak kita print untuk Ahli Parlimen, tapi saya rasa laporan ini adalah penting. Kalau boleh ya, saya minta supaya sekurang- kurangnya laporan untuk Kerajaan Persekutuan itu dibekalkan kepada setiap Ahli Parlimen.

Timbalan Speaker, saya lihat di sini melalui audit report ini kita boleh mengatakan bahawa Kerajaan MADANI ini mereka berani untuk menerima kritikan.

Sebab Audit Report 2024 ini adalah prestasi Kerajaan MADANI ini dan dia berani untuk table di Parlimen ini untuk dibahas untuk menerima kritikan ataupun cadangan.

Itu tahniah. Ini adalah satu reformasi di mana audit report ini kali keenam kita bahas dalam Parlimen ini. Tahniah kepada kerajaan.

Kita lihat audit report ini memang prestasi Kerajaan Persekutuan ini bertambah baik. Antaranya, kita lihat defisit telah menurun sebanyak RM12.24 bilion.

Kalau kita lihat pada tahun 2023, defisit adalah RM91 bilion, tetapi telah dikurangkan kepada RM79 bilion sahaja pada tahun 2024. Manakala, nisbah defisit kepada KDNK juga melihat penurunan daripada lima peratus pada tahun 2023 kepada 4.1 peratus pada tahun 2024. Ini satu perkembangan yang baik di mana sasaran kita ialah pada akhirnya dapat capai nisbah tiga peratus. Dengan prestasi yang ada, kita percaya dia boleh capai tiga peratus tersebut.

Begitu juga dengan pinjaman. Pinjaman telah juga menurun sebanyak RM39 bilion iaitu penurunan sebanyak 16.3 peratus. Kalau kita lihat, pada tahun 2023 pinjaman kita RM241 bilion dan telah dikurangkan kepada RM202 bilion pada tahun 2024. Tahniah kepada Kerajaan MADANI. Ini menunjukkan di mana hasrat kerajaan untuk mentadbir urus kewangan dengan berhemah, dengan akauntabiliti.

Jadi, saya ada tiga perkara yang saya nak bangkit berdasarkan kepada laporan pada kali ini. Yang pertama ialah berkaitan dengan pengauditan badan lain termasuk syarikat melalui sistem e-SelfAudit bagi tahun 2025. Ini juga adalah satu pembaharuan, satu reformasi yang telah dicapaikan oleh Kerajaan MADANI ini di bawah pimpinan Yang Berhormat Tambun. Kenapa saya kata begitu? Sebab kita ada bab yang baru ini. Ini bahagian yang ketujuh adalah bahagian yang baharu di mana adalah ekoran daripada pindaan audit yang telah diluluskan di Dewan Rakyat pada Julai tahun lepas.

Hasil daripada pindaan tersebut, maka antaranya telah meluaskan kuasa Ketua Audit Negara untuk mengaudit badan lain termasuk syarikat yang menerima jaminan kewangan daripada Persekutuan ataupun negeri. Pengauditan ini tidak hanya tertakluk kepada syarikat induk, tetapi juga syarikat subsidiari di bawah syarikat induk berkenaan. Ini adalah satu reformasi sebab selalu sering kali kita lihat banyak penyelewengan berlaku adalah melalui syarikat yang ditubuhkan yang dapat peruntukan ataupun dana daripada kerajaan. Jadi, ini adalah satu yang baik.

Hasil daripada pindaan ini kita boleh lihat. Kalau dulu pada tahun 2023, 2022, waktu itu hanya sebanyak 925 buah syarikat yang diwartakan yang boleh diaudit, tetapi melalui pindaan akta ini, hari ini sebanyak 1,856 badan telah diaudit iaitu peningkatan lebih daripada 100 peratus. Jadi, dengan adanya pindaan ini, Audit Negara mereka boleh pergi audit, sudah pasti kita boleh kurangkan ketirisan.

draft • 4:34 PM

Tuan Khoo Poay Tiong - Kota Melaka

Dan kita lihat di peringkat Kerajaan Persekutuan, sebanyak 850 syarikat yang telah diaudit. Dan daripada 850 syarikat tersebut, Timbalan Speaker ya, kita lihat ada 641 syarikat yang telah mengemukakan makluman balas, sedangkan ada 34 syarikat gagal mengemukakan maklum balas dan 174 syarikat berstatus winding up ataupun dissolve ataupun tidak lagi berkaitan dengan kerajaan. Jadi, angka ini, ia telah menunjukkan bahawa pindaan audit itu adalah baik sehingga kita boleh tahu syarikat yang ditubuhkan oleh kerajaan ini kita lihat ada yang sudah jadi dorman, ada yang sudah jadi winding up sebelum ini tidak diambil tindakan.

Jadi, dengan adanya audit ini, maka kita boleh ambil tindakan-tindakan susulan supaya kita dapat memastikan syarikat yang baik sahaja yang akan dikekalkan, syarikat yang tidak menunjukkan prestasi yang baik, kita tutupkan.

Jadi, kita lihat melalui pembaharuan ini, reformasi ini, kita lihat antara syarikat di peringkat Kerajaan Persekutuan yang telah dikeluarkan perakuan dan pandangan Ketua Audit Negara ialah Petronas Nasional Berhad, PETRONAS ― Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS). Sebelum ini, sering kali kita tidak dapat audit akaun PETRONAS, tapi melalui pindaan tersebut, hari ini kita boleh lihat akaun PETRONAS, Petronas Carigali Sendirian Berhad dan sebagainya. Jadi, ini adalah satu reformasi di mana dapat mengukuhkan budaya integriti dan juga tata kelola dalam sektor awam.

Bab yang selanjutnya yang saya nak bangkit ialah berkaitan dengan audit ke atas Jabatan Pengangkutan Jalan, Kementerian Pengangkutan Malaysia. Di mana, daripada hasil audit mereka, mereka mengatakan kutipan bagi tahun 2022 hingga 2024 adalah sebanyak RM1.648 bilion hasil daripada kutipan menjual nombor pendaftaran kenderaan. Namun, terdapat sedikit kecacatan di mana kerana kecacatan tersebut, mungkin kerajaan akan kurang menerima pendapatan lebih kurang RM115 juta.

Jadi, dalam bab ini, yang saya lihat ― saya percaya melalui jawapan daripada JPJ, daripada kementerian, mereka akan menambah baik dan masalah ini dapat diatasi, tetapi apa yang saya nak bangkit di sini ialah kita juga harus lihat inisiatif yang dijalankan oleh Kementerian Pengangkutan di mana mereka telah melancarkan program jualan nombor pendaftaran khas ataupun tender number khas. Di mana, hasil daripada mereka jualkan nombor-nombor yang istimewa, mereka dapat menjana pendapatan hasil dan daripada hasil tersebut, mereka telah menjalankan banyak program kebajikan untuk masyarakat.

Antaranya, hasil daripada jualan nombor pendaftaran yang khas ini, JPJ ataupun Kementerian Pengangkutan, mereka telah memberikan bantuan lesen memandu bagi kategori B2 secara percuma kepada golongan B40. Begitu juga mereka berikan topi keledar percuma. Program ini juga memanfaatkan mereka yang bergolongan B40. Seterusnya, mereka juga jalankan program bantuan subsidi tiket penerbangan antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak untuk mahasiswa dan juga musim perayaan. Sebab itu kita boleh lihat setiap kali apabila datangnya musim perayaan, AirAsia ataupun syarikat penerbangan yang lain dapat tawarkan tiket yang murah adalah hasil daripada kerajaan memberikan subsidi melalui hasil daripada jualan nombor pendaftaran ini. Jadi, ini semua adalah contoh-contoh yang baik yang harus kita sokong.

Selain daripada itu, Timbalan Speaker, saya merujuk kepada topik yang selanjutnya iaitu berkaitan dengan pengurusan kenderaan kerajaan di bawah perjanjian konsesi. Saya juga dapat lihat tadi Ahli Parlimen daripada pembangkang ada mengkritik tentang hal ini. Tetapi, saya nak menekankan kepada Parlimen di sini bahawa konsesi ini ditandatangani pada tahun 2022, Januari, iaitu 31 Januari 2022.

Waktu itu, sebelah sana, Perikatan Nasional yang menjadi kerajaan. Merekalah yang pergi tandatangan konsesi sedemikian. PAS adalah sebahagian daripada kerajaan pada waktu itu.

Jadi, kita lihat oleh kerana kelemahan tersebut― sepatutnya melalui open tender tapi mereka direct nego. Jadi, saya ingin memberi cadangan kepada kerajaan, kepada Kementerian Kewangan supaya kita mengkaji semula. Kalau ada ruang, kita sepatutnya batalkan perjanjian konsesi ini dan adakan open tender dan berikan kepada syarikat yang sepatutnya yang layak.

Selanjutnya...

[Dicelah] Ya, setuju ya? Sebab waktu itu Pagoh lah. Waktu itu Pagoh ya.

Selanjutnya, saya nak sebut akhir sekali ialah berkaitan dengan, apa nama, dalam audit report ini, dia juga ada mengatakan bahawa setakat 31 Julai tahun ini, sebanyak 321 ataupun 5.7 peratus daripada 5,667 isu yang masih dalam tindakan iaitu yang melibatkan laporan audit daripada tahun 2016 sehingga 2025 Siri 2. Jadi, saya harap supaya tindakan yang tegas harus diambil kepada sejumlah 321 kes yang masih tertunggak, yang masih outstanding.

Jadi, akhir sekali, kita lihat kerajaan hari ini prestasi pengurusan kewangan mereka sudah meningkat, sudah baik dan kita percaya masa akan datang dia akan menjadi lebih baik kerana kita lihat Akta Perolehan dan juga Akta Iltizam telah diluluskan, di mana dia akan mementingkan prinsip akauntabiliti dan juga tanggungjawab.

Jadi, itu adalah penting untuk memastikan kewangan yang baik sebab kita lihat hutang yang perlu kita bayar, ia adalah begitu tinggi di mana dalam audit report ini juga mengatakan pengusiran tempoh matang hutang Persekutuan untuk satu tahun ke lima tahun ialah sebanyak RM490 bilion. Satu angka yang besar. Sudah pasti Kementerian Kewangan menghadapi satu cabaran untuk mendapat sumber yang mencukupi. Jadi, kita perlu menyokong kerajaan dalam usaha memastikan ketelusan dan mengelakkan ketirisan.

Itu sahaja daripada saya. Terima kasih.

draft • 4:40 PM

Dato’ Indera Mohd Shahar bin Abdullah - Paya Besar

Terima kasih Yang Berhormat Kota Melaka sebagai pembahas yang terakhir.

Ahli-ahli Yang Berhormat, telah selesai perbahasan Usul Laporan Ketua Audit Negara 3/2025 pada hari ini. Seramai 23 Ahli-ahli Yang Berhormat telah mengambil bahagian. Esok, Rabu, 8 Oktober 2025, Yang Berhormat Menteri atau Yang Berhormat Timbalan Menteri kementerian yang berkaitan akan menjawab isu-isu yang dibangkitkan oleh Ahli-ahli Yang Berhormat.

Ahli-ahli Yang Berhormat, mesyuarat Dewan hari ini ditangguh sehingga jam 10 pagi hari Rabu, 8 Oktober 2025. Terima kasih, Yang Berhormat.

draft • 4:40 PM

[Dewan ditangguhkan pada pukul 4.48 petang]

Hak Cipta Terpelihara © 2026