Katalog Hansard
[Tuan Yang di-Pertua **mempengerusikan Mesyuarat****]
Tuan Yang di-Pertua
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Sebelum kita mulakan dengan pertanyaan di Waktu Pertanyaan Menteri ini, terlebih dahulu saya mengucapkan selamat berpuasa kepada semua. Di bulan yang mulia ini, saya mengharapkan kita selepas ini dapat berbahas, berhujah dengan penuh hemah tanpa dusta dan nista dan yakin akan hati kawan-kawan sekalian. Moga-moga kita kekalkan silaturahim di bulan yang mulia ini. Untuk itu, saya jemput Tuan Lim Guan Eng, Bagan.
Tuan Lim Guan Eng - Bagan
Terima kasih Tan Sri Yang di-Pertua. Saya juga ingin mengucapkan selamat berpuasa kepada semua Ahli Yang Berhormat selamat menyambut bulan Ramadan Al-Mubarak. Terima kasih.
1. Tuan Lim Guan Eng [Bagan] minta Menteri Dalam Negeri menyatakan tentang laporan baru Human Rights Watch (HRW) yang mengkritik kerajaan menindas kumpulan pelarian di dalam pusat tahanan yang penuh sesak melebihi kapasiti dan wujud kematian di kalangan golongan rentan dan kanak-kanak. Nyatakan kedudukan sebenarnya dan bilangan kematian serta apakah rancangan dalam menanganinya.
Tuan Yang di-Pertua
Sila Menteri.
Menteri Dalam Negeri - Datuk Seri Saifuddin Nasution bin Ismail
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Tan Sri Yang di-Pertua, terima kasih sahabat saya dari Bagan. Saya mulakan dengan mengucapkan Ramadan Kareem kepada sekalian umat Islam.
Tan Sri Yang di-Pertua, ada 20 depoh imigresen di negara kita. Kapasitinya 20,650. Sehingga 7 Mac 2024, jumlah yang tinggal di depot imigresen 13,635, undercapacity. Jadi dakwaan Human Rights Watch punya report, tertolak dengan sendirinya. Biar angka berbicara. Adakah sesak? Jawapannya, tidak.
Yang kedua, Bagan ingin tahu dari segi yang tinggal di dalam berapa ramai.
Myanmar paling ramai 4,541, diikuti Indonesia 3,797, Filipina 2,914, Bangladesh 1,000, Thailand 329, lain-lain 1,054.
Kenapa mereka berada di dalam? Pertama, mereka terdiri daripada orang yang selesai menjalani hukuman penjara atas pelbagai kesalahan, dijatuhkan hukuman oleh mahkamah negara kita. Sementara tunggu untuk diusir, Jabatan Imigresen kena berurusan dengan pejabat kedutaan asing supaya disediakan travel document atau dokumen perjalanan. Lagi cepat travel dokumen dikeluarkan, lagi cepat kita hantar mereka balik.
Menteri Dalam Negeri - Datuk Seri Saifuddin Nasution bin Ismail
Kedua, adalah mereka yang ditangkap di bawah pelbagai kesalahan Akta Imigresen dan Akta Pasport. Boleh jadi terlebih tinggal, salah guna pas, boleh jadi juga tak ada dokumen sama sekali. Jadi, kita letak mereka di dalam untuk selesaikan siasatan, serahkan kepada timbalan pendakwa raya sebelum mereka dituduh ataupun tidak. Jadi sementara proses itu berlaku, mereka kita letak di depot imigresen.
Ada juga pemegang kad UNHCR tapi mereka terdiri daripada orang yang melakukan kesalahan mengikut undang-undang. Terlibat dadah, kes rogol, kes bunuh pun ada, kes curi rare earth di Sik, Kedah pun ada. Dia curi, kemudian- walaupun dia pegang kad UNHCR, dia melakukan kesalahan. Jadi kita tangkap.
Baik, berapa banyak kita belanja untuk uruskan 20 depot ini? RM123 juta tahun lepas. Makan sahaja RM80 juta. Bila kita usir, kita bayar duit feri. Bila kita usir, kita bayar duit kapal terbang.
Begitu sekali kita jaga tapi Human Rights Watch report ini kata kita torture sampai kematian. Akibat daripada laporan ini, PAC Parlimen diketuai Selayang, telah memanggil KDN, Jabatan Imigresen untuk menjawab persoalan. Begitu juga HRW ini diminta memberikan keterangan. Saya difahamkan dalam keterangan itu, ketika diminta pembuktian di mana torture berlaku? Di mana kes kematian, kem mana? Di Bekenu, di Belantik, di Semenyih, di Pekan Nanas, di Tawau, di Bidor? 20 kem, di mana torture berlaku dan di mana kematian berlaku seperti disebut.
Satu cebis bukti pun tak dapat mereka kemukakan tapi laporan telah mereka syarah satu dunia. Ini hakikat yang saya kena bentangkan secara terus terang di dalam Dewan ini. Terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua
Sila Bagan.
Tuan Lim Guan Eng - Bagan
Saya ucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Menteri atas jawapan yang lengkap. Saya juga terkejut bila Yang Berhormat Menteri tidak ada satu kematian pun atas torture, penganiayaan yang dilakukan. Apakah tindakan yang boleh diambil oleh pihak kerajaan untuk melawani ataupun menangani tuduhan yang tidak berasas ini? Pada masa yang sama, saya juga ingin tahu kerana tempoh tahanan, berapa lama. Yang paling lama, berapa dan secara purata berapa lama?
Akhirnya isu pelarian adalah satu isu yang besar di kalangan masyarakat tempatan.
Tuan Lim Guan Eng - Bagan
Contohnya dalam kawasan saya, Bagan. Ada kawasan kampung pelarian Rohingya di mana orang-orang kampung begitu tidak puas hati sekali. Sampai saya rasa pun ada dengar, kalau yang masjid pun mereka tak patut dengar itu tak berapa betullah.
Pun dihalang tetapi akhirnya diselesaikan dengan baik. Apakah langkah yang boleh diambil untuk mengatasi masalah seperti ini, khususnya di masyarakat tempatan.
Sungguh pun dia undercapacity 13,000 adakah ada jumlah pelarian di luar daripada pusat tahanan? Terima kasih.
Datuk Seri Saifuddin Nasution bin Ismail
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, kita sedia maklum, kita Malaysia bukan negara anggota konvensyen mengenai status pelarian. We are not signatory to it. Tetapi keberadaan UNHCR di negara kita adalah satu badan antarabangsa yang membuat pendaftaran berkenaan dengan pelarian. Jadi, UNHCR melaporkan mereka telah mendaftar hampir 189,000.
Kementerian Dalam Negeri, kami juga ada usaha membuat pendaftaran. Tapi kami hanya dapat mengumpul sekitar 40,000. Kerana itu data pelarian ini dia tidak menampakkan jurang yang besar. Jadi, apa langkah kita? Yang pertama, Kementerian Dalam Negeri engage dengan UNHCR. Kita kata lebih baik kita adakan perkongsian data, kita silang semak, kemudian daripada situ barulah kita boleh meneruskan usaha untuk menangani isu pelarian ini, isu pelarian ya.
Soalan asal ialah tentang depot okey. Hari ini pun kerjasama kita dengan UNHCR sangat akrab. Misalnya kalau mereka ada maklumat yang mereka perlukan identiti mana- mana individu yang mereka diberitahu ada di dalam depot kita. Kita sendiri akan mengiringi UNHCR bawa mereka depot KLIA, depot Semenyih untuk mengatur, temu dengan individu bagi mengesahkan identiti. Sampai ke situ.
Datuk Seri Saifuddin Nasution bin Ismail
Kadang-kadang pemegang kad UNHCR ini sudah tamat dah tempoh hukuman.
Jadi dia tak ada tempat, jadi kita letak di depot. Tapi UNHCR menulis kepada kita mohon pembebasan. Kita akan bebaskan mereka sebab tugas UNHCR adalah mendaftar pelarian, kemudian mencari negara ketiga. Mereka tidak boleh lama-lama di sini.
Dato' Khlir bin Mohd Nor - Ketereh
[Bangun]
Datuk Seri Saifuddin Nasution bin Ismail
Untuk makluman Bagan, tahun lepas sahaja di depot imigresen ini, kita telah pun hantar balik ke negara mereka seramai 41,658 kita sudah hantar balik. Tetapi semakin kita hantar, ada juga yang masuk balik melalui operasi-operasi kita. Tapi, apakah kesesakan? Jawapannya tidak.
Ya kita sebuah negara yang betul-betul mengikut undang-undang, menjalankan tindakan, berlapar kepada sifat ihsan dan kemanusiaan. Makan lima kali sehari Bagan, untuk makluman yang kita belanja RM80 juta and those are taxpayers’ money and yet laporan macam ini keluar mengatakan torture sampai mati. Ini sangat tidak bertanggungjawab, saya sendiri telah menjemput mereka verbally. Saya akan mengutus surat untuk mereka tampilkan bukti kepada saya, mungkin mereka ada reservation untuk bentang pada PAC tetapi saya akan segera untuk ambil tindakan.
Yang penting adalah memberi penjelasan. Saya ucap terima kasih kerana PAC juga memberi ruang kepada imigresen untuk melakukan rebuttals dan kami akan memberikan kerjasama dengan harapan bahawa versi yang lebih credible ini daripada kami akan dapat diuar-uarkan bagi me-neutralize-kan semua tuduhan ini. Terima kasih.
Tuan Lim Guan Eng - Bagan
Tahanan.
Tuan Yang di-Pertua
Ya Ketereh.
Dato' Khlir bin Mohd Nor - Ketereh
Terima kasih Yang di-Pertua. Soalan saya kepada pemegang kad UNHCR ini, kalau kita tengok sekarang ini mereka begitu bebas sekali. Di kawasan saya sendiri ada pusat tahfiz oleh pemegang UNHCR ini iaitu orang Myanmar. Kemudian dia ada kedai, kedai runcit, kemudian dia ada money-changer. Dia buka money-changer untuk dia ada di kawasan Ketereh.
Jadi begitu ramai dia di kawasan saya. Saya hendak tahu, adakah UNHCR ini kita cek, kita cek betul ke tidak pemegang kad ataupun dia dapat, bayar secara haram ke, macam mana ke, jadi saya hendak tahu. Apakah langkah-langkah Kementerian Dalam Negeri sekarang ini untuk stop dia daripada membuat aktiviti-aktiviti yang saya sebutkan tadi.
Tuan Yang di-Pertua
Sila Menteri.
Datuk Seri Saifuddin Nasution bin Ismail
Terima kasih Ketereh. Tentunya saya tidak boleh jawab bagi pihak UNHCR kot ya. Cuma kita apabila membuat serbuan, berlaku tangkapan kita akan semaklah. Kalau dalam semakan kita itu mendapati mereka memegang kad UNHCR, kita tak tahanlah. Kita lepaskan dialah, itu sahaja yang kita lakukan tapi kalau dia tak ada dokumen, sama sekali kita hantar ke depot.
Kalau dia ada pas tapi dia salah guna, kita hantar ke depot. Tapi kalau dia overstay, ramainya dalam depot adalah terlebih tinggal. Dia patut balik tapi dia berlama- lama, kita hantar ke depot kemudian kita berurusan untuk hantar balik. Baik, tapi kalau dia pegang kad UNHCR negara kita sekarang ini berdasarkan kepada arahan Majlis Keselamatan Negara saya lupa arahan nombor berapa. Makna kita treat pemegang kad UNHCR itu begitu. Okey ya jadi sebab itu jumlah mereka adalah sekitar 189,000 angka yang dilapor oleh UNHCR.
Jadi keberadaan dia di negara kita tentunya seperti yang disebut oleh Ketereh.
Mereka ada aktiviti harian merekalah to earn living meneruskan kehidupan, dia buat aktiviti seperti yang disebut. Jadi dari sudut pendirian kerajaan hari ini seperti juga kerajaan yang lepas, adanya pemegang kad itu bila berlaku penahanan yang kita lakukan saya ingat kita tidak hantar mereka, melainkan mereka melakukan kesalahan di bawah undang-undang negara kita.
Ada kesalahan dadah, ada kesalahan rogol, ada kesalahan bunuh mereka sudah dijatuhkan hukuman rogol misalnya. Jenayah berat, bila mereka selesai menjalani
Datuk Seri Saifuddin Nasution bin Ismail
hukuman mereka dilepaskan jadi depot imigresen juga pegang mereka. Tapi kalau kes kesalahan kecil-kecil, setelah mereka menjalani hukuman kita letak di depot UNHCR tulis untuk mereka ini dibebaskan. Kita bebas tetapi kalau kesalahan jenayah berat, kalau kita bebas ia mengancam pula keselamatan nyawa rakyat kita. Jadi, itu pertimbangan yang Jabatan Imigresen sentiasa berdepan hampir setiap masa dalam mengurus perkara ini.
Terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua
Saya jemput Sandakan.
Puan Vivian Wong Shir Yee - Sandakan
Terima kasih Dato’ Sri, Yang Berhormat Menteri atas jawapan yang sangat jelas. Tetapi soalan saya adalah kalau di Sandakan kami tau memang ada banyak pemegang IMM13 yang diisu oleh UNHCR 30 tahun yang lalu. Jadi bagaimana kami mahu memastikan pemegang IMM13 ini masih orang yang diisukan pada 30 tahun lalu. Sebab sekarang kami tidak boleh pastikan sama ada yang pemegang ini adalah orang yang diisu pada 30 tahun lalu.
Kami hendak tahu juga IMM13 telah dijual oleh di kalangan kalau ada yang orang sudah meninggal dunia tetapi kad mereka sedang di jual di pasaran gelaplah so boleh minta Yang Berhormat Menteri jawab soalan saya. Thank you.
Tuan Yang di-Pertua
Sila Menteri.
Datuk Seri Saifuddin Nasution bin Ismail
Terima kasih Sandakan. Tan Sri Yang di-Pertua, keberadaan warga asing yang tinggal di Sabah itu memaksa kepada tahun 2022 sehingga ditubuhkan Royal Commission of Inquiry. Hal yang disebut oleh Sandakan itu hanya mengesahkan penemuan dalam laporan tersebut, baik. Hari ini langkah yang kita ambil ialah Kementerian Dalam Negeri dan Kerajaan Negeri Sabah kita wujudkan jawatankuasa yang dipengerusikan bersama oleh saya dan Ketua Menteri Hajiji iaitu Jawatankuasa Pengurusan Warga Asing.
Ini sedang kita laksanakan sekarang ya, bukan cadangan sudah pun tertubuh.
Jadi Jabatan Ketua Menteri ada satu bahagian kerjanya ialah untuk membuat bancian.
Sekarang mereka sedang buat bancian tentang keberadaan warga asing termasuk yang memegang segala aneka pas yang telah dikeluarkan terdahulu. Untuk kita merangka langkah ke depan, dia mesti berasaskan kepada fakta yang tepat. Jadi tugas itu sekarang diambil dan dijalankan oleh Kerajaan Negeri Sabah khususnya di bawah Jabatan Ketua Menteri, KDN kemudiannya akan bersama dengan Kerajaan Negeri Sabah untuk merangka langkah ke hadapan.
Yang- bukan sahaja isu kad IM yang disebut oleh Sandakan tadi ya. Di Sabah, keadaannya lebih kompleks terutama dengan masyarakat yang diistilahkan sebagai Pala’u yang tinggal di kawasan rumah air ini yang jumlahnya juga besar, puluhan ribu yang mempunyai masalah identiti.
Datuk Seri Saifuddin Nasution bin Ismail
Ada yang datang dari Filipina, ada yang datang dari Indonesia, beranak-pinak di situ dan segala macam. Jadi, kalangan NGO, mereka akan bahaskan soal apa masa depan pendidikan mereka. Bagaimana pula peluang mereka untuk mendapat kesihatan?
Kadang-kadang, mereka melahirkan anak, pergi ke klinik atau hospital.
Kemudian, dia tak selesaikan bil hospital. Anak dia terpaksa ditinggalkan.
Kemudian, anak yang ditinggalkan macam ini, walaupun mak bapak tak ada identiti warganegara, tetapi mengikut undang-undang sekarang, pelbagai pihak kata mesti bagi warganegara. Itu keadaan yang sangat kompleks, yang kita nak kena selesai satu-satu.
Oleh kerana itu, langkah yang boleh saya kongsi sekarang adalah peringkat pertama, jawatankuasa bersama ini sedang berfungsi. Jabatan Ketua Menteri sedang menjalankan proses bancian dan pada akhir angka itu, kita perolehi satu rencana yang lebih komprehensif, menyeluruh akan kita rangka. Terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua
Baik. Seterusnya, saya jemput Datuk Wan Saifulruddin bin Wan Jan, Tasek Gelugor.
Datuk Wan Saifulruddin bin Wan Jan - Tasek Gelugor
Terima kasih, Tuan Yang di-Pertua.
2. Datuk Wan Saifulruddin bin Wan Jan [Tasek Gelugor] minta Menteri Komunikasi menyatakan apakah rasional penggubalan Kod Etika Wartawan baharu yang diumumkan pada 20 Februari yang lalu mengambil kira implikasi hak kebebasan media serta kerangka kawal selia media secara menyeluruh.
Tuan Yang di-Pertua
Sila Menteri.
Menteri Komunikasi - Tuan Ahmad Fahmi bin Mohamed Fadzil
Terima kasih, Tan Sri Yang di-Pertua. Terima kasih, Yang Berhormat.
Tan Sri Yang di-Pertua, Kod Etika Wartawan Malaysia yang diluncurkan pada 20 Februari 2024 bukanlah kod etika yang baharu. Sebaliknya, kod etika tersebut merupakan penambahbaikan kepada Etika Kewartawanan Malaysia 1989, yang diterbitkan oleh Institut Akhbar Malaysia, yang kemudiannya dikenali sebagai Malaysian Press Institute
(MPI). Penambahbaikan ini selari dengan perubahan industri media digital masa kini.
Untuk makluman, Kod Etika Wartawan Malaysia ini akan diguna pakai oleh Jabatan Penerangan Malaysia sebagai sumber rujukan dan panduan dalam pengeluaran serta penarik balikkan untuk Kad Perakuan Media untuk pengamal media di Malaysia.
Sebelum ini, Jabatan Penerangan mengguna pakai Etika Kewartawanan Malaysia (MPI) tahun 1989 bersekali dengan prosedur tetap operasi Kad Perakuan Media sebagai sumber rujukan dan panduan bagi kelulusan serta penarik balikkan Kad Perakuan Media.
Kod Etika Wartawan Malaysia yang baharu diluncurkan ini merupakan usaha sama Kementerian Komunikasi, Jabatan Penerangan, Jabatan Penyiaran Malaysia
(RTM), Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA), Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Penggubalan Kod Etika Wartawan Malaysia ini juga mengambil kira maklum balas daripada MPI, National Union of Journalists Malaysia (NUJM) dan Jawatankuasa Protem Majlis Media Malaysia. Kod Etika Wartawan Malaysia ini menggarap lapan etika utama iaitu:
(i) Wartawan bertanggungjawab menjadi suara masyarakat majmuk;
(ii) Wartawan hendaklah telus dan berintegriti;
(iii) Wartawan digalakkan berlaku adil dalam menyampaikan informasi;
(iv) Pemberitaan tidak dipengaruhi kepentingan peribadi;
(v) Kesahihan dan ketetapan maklumat;
(vi) Wartawan perlu menghormati privasi dan kerahsiaan sumber;
(vii) Wartawan perlu memahami undang-undang, akta dan polisi yang berkaitan dengan ruang lingkup tugas mereka; dan
(viii) Memberi keutamaan untuk meningkatkan kemahiran kewartawanan secara berterusan.
Kerajaan sentiasa komited dalam menjaga kebebasan pengamal media untuk menyampaikan maklumat dan pemberitaan tanpa halangan daripada pihak yang berkepentingan. Dalam konteks ini, undang-undang sedia ada adalah untuk memastikan ketenteraman awam tidak terancam. Justeru, pihak wartawan dan organisasi media perlu bertanggungjawab dalam menyebarkan maklumat yang sahih.
Kod Etika Wartawan Malaysia ini dijangka akan terus memacu media di Malaysia sebagai sumber yang dipercayai rakyat dalam memberi maklumat yang tepat dan sahih tentang keadaan semasa negara serta memfokuskan kepada etika terhadap tanggungjawab wartawan sebagai suara rakyat.
Menteri Komunikasi - Tuan Ahmad Fahmi bin Mohamed Fadzil
Wartawan juga berperanan menyuburkan kemakmuran serta keharmonian yang didukung melalui nilai Malaysia MADANI. Sekian, terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua
Sila, Tasek Gelugor.
Datuk Wan Saifulruddin bin Wan Jan - Tasek Gelugor
Terima kasih Yang di- Pertua. Terima kasih Yang Berhormat Menteri atas jawapan tadi. Saya agak bimbang apabila disebut bahawa – ada disebut dengan jelas bahawa ada kaitan antara pemberian Kad Perakuan Media dengan pelaksanaan dan penguatkuasaan kod etika ini.
Kita sedia maklum bahawa apabila kod etika ini dilancarkan, maka suara di luar sana, banyak kritikan-kritikan, bukan sahaja di kalangan wartawan tetapi juga, di kalangan Ahli-ahli Parlimen kita yang tak tahu mengenai the drafting process dan tiba-tiba dilancarkan. Apatah lagi, kalau sekiranya ia dijadikan asas untuk mengeluarkan atau menarik balik Kad Perakuan Media. Ini membuka ruang kepada kerajaan untuk lebih mengongkong kebebasan media, terutama dari segi pelaksanaan kod etika ini.
Jadi, soalan saya, Yang di-Pertua, saya mohon Yang Berhormat Menteri pertama sekali, kena recognise bahawa ada banyak kebimbangan di luar sana mengenai kebebasan media dalam negara kita hari ini. Saya mohon Yang Berhormat Menteri beri jaminan bahawa pelaksanaan kod etika ini, first sekali, apabila ditubuhkan Majlis Media Malaysia nanti, alangkah baiknya kalau ia boleh dimansuhkan dan dibiarkan – diserahkan kepada majlis itu sendiri untuk merangka supaya industri boleh self-regulate dan di waktu yang sama, saya mohon jaminan daripada Yang Berhormat Menteri, bahawa pemberian Kad Perakuan Media ini akan dilakukan secara adil tanpa politik kepartian dan bukan semata-mata sebab mereka bersetuju atau tidak bersetuju dengan kerajaan. Bagaimana Menteri nak memberi jaminan itu? Terima kasih.
Tuan Ahmad Fahmi bin Mohamed Fadzil
Terima kasih Yang Berhormat. Tan Sri Yang di-Pertua, sebenarnya Kad Perakuan Media telah mula diberikan sejak tahun 1995, berdasarkan rekod. Maka, sejak daripada tahun itu, Etika Kewartawanan Malaysia
(MPI) telah diguna pakai secara rasmi sebagai kod etika yang perlu diamalkan oleh semua pemegang Kad Perakuan Media, Jabatan Penerangan.
Jadi, saya nak sebut di sini untuk kali yang terakhir, ini bukan kod etika yang baharu. Kad Perakuan Media telah diberi sejak tahun 1995, berdasarkan ataupun mengguna pakai Etika Kewartawanan Malaysia (MPI).
Tuan Sanisvara Nethaji Rayer a/l Rajaji - Jelutong
[Bangun]
Tuan Ahmad Fahmi bin Mohamed Fadzil
Jadi, dia bukan perkara yang tiba- tiba muncul.
Puan Wong Shu Qi - Kluang
[Bangun]
Tuan Ahmad Fahmi bin Mohamed Fadzil
Tetapi, bila kita semak balik kod etika ataupun Etika Kewartawanan Malaysia (MPI) tahun 1989, dokumen tersebut berusia 35 tahun. Jadi, ada banyak perkara dalam dokumen tersebut yang dipercayai ataupun dilihat boleh ditambah baik.
Sebagai contoh, kalau kita semak dalam laman web MPI, ada dinyatakan sebagai contoh, antara perkara yang perlu – yang menjadi asas kepada – ataupun prinsip-prinsip utama Etika Kewartawanan Malaysia, salah satunya adalah menyedari peri bahaya komunisme, yang mana kita tahu, di Malaysia sudah tidak wujud komunisme. Jadi, masih dirujuk dalam Etika Kewartawanan (MPI) tersebut.
Maka, melalui sesi libat urus bersama dengan sejumlah pihak, termasuk MPI, National Union Journalists of Malaysia (NUJM) dan ahli-ahli protem Majlis Media Malaysia, maka ada satu, lebih kurang, persetujuan ataupun ada pihak Jabatan Penerangan mendapat maklum balas dan menambah baik dokumen tersebut. Itulah dokumen yang dilancarkan.
Tetapi, ingin saya jelaskan, kod ataupun Kad Perakuan Media ini bukanlah lesen untuk wartawan bertugas. Bidang kewartawanan bukan seperti bidang kedoktoran ataupun arkitek, ataupun peguam, bukan badan profesional dari erti mempunyai akta tersendiri. Bukan.
Tuan Ahmad Fahmi bin Mohamed Fadzil
Jadi, Kad Perakuan Media diberikan kepada para wartawan oleh Jabatan Penerangan, khusus supaya memudah cara agensi-agensi kerajaan, mengenal pasti bahawa wartawan-wartawan ini adalah daripada agensi ataupun organisasi media yang diperakui, untuk hadir membuat pelaporan di acara-acara rasmi kerajaan, ataupun untuk wartawan yang ingin membuat pelaporan dan hadir ke Parlimen. Mereka memerlukan satu dokumen dan pihak Parlimen merujuk kepada Kad Perakuan Media, Jabatan Penerangan.
Kalau tidak ada Kad Perakuan Media, tidak bererti wartawan tidak boleh bertugas.
Jadi, saya nak jelaskan di sini ya. Dia bukanlah satu dokumen untuk mengongkong ataupun mengurung ataupun menafikan hak para wartawan untuk bertugas. Cuma, kalau nak hadir ke acara-acara rasmi, membuat pelaporan in situ, on-site di tempat acara bagi kerajaan – acara kerajaan, maka itulah dokumen untuk memudah cara kehadiran mereka.
Terima kasih.
Puan Wong Shu Qi - Kluang
Tuan Yang di-Pertua.
Tuan Yang di-Pertua
Saya jemput Jelutong.
Tuan Sanisvara Nethaji Rayer a/l Rajaji - Jelutong
Terima kasih Tan Sri Speaker. Selamat pagi. Sebelum saya mengemukakan soalan, saya mengambil kesempatan ini bagi pihak Ahli-ahli Parlimen Parti DAP untuk mengucapkan selamat menyambut bulan Ramadan, bulan puasa kepada semua Muslimin dan Muslimat.
Soalan saya, Tan Sri Speaker. Saya mendengar, mungkin kali ini saya boleh sedikit sebanyak menyokong Tasek Gelugor lah. Satu masa dahulu, terdapat persepsi bahawa terdapat kekangan ataupun tidak dibenarkan berita-berita yang membongkar isu dan skandal-skandal. Umpamanya Claire Rewcastle Brown daripada Sarawak Report yang menjadi infamous, saya gunakan istilah– apabila beliau membongkarkan kes-kes seperti 1MDB dan sebagainya.
Ada persepsi di luar sana bagi pihak wartawan yang mendapat persepsi bahawa kod etika ini kerangkanya adalah semata-mata untuk mengekang mereka ataupun tidak membenarkan mereka melaporkan berita-berita yang boleh membongkarkan apa-apa skandal dan sebagainya. Saya cuma sebagai ahli backbencher, menyokong kod etika ini pada suatu ketika, pada masa ini juga.
Tetapi dalam masa yang sama, apa yang diperlukan adalah jaminan daripada kerajaan dan Menteri bahawa kod etika ini tidak akan pada bila masa-masa mengekang mana-mana pemberita ataupun wartawan ataupun berita-berita, laporan-laporan daripada membongkarkan sesuatu skandal dan sebagainya apabila berlakunya skandal itu. Itu persoalan saya. Terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua
Sila menteri.
Tuan Ahmad Fahmi bin Mohamed Fadzil
Terima kasih Yang Berhormat Jelutong. Ya, saya– sukacita saya sebut di sini satu ketika dahulu, saya juga merupakan antara Ahli Parlimen yang memperjuangkan nasib para wartawan. Saya pernah dicemuh dalam Dewan yang mulia ini kerana mempertahankan hak wartawan membuat pelaporan.
Saya ingat lagi waktu itu ya, dan saya diserang bertubi-tubi dan saya— ingin saya jelaskan bahawa sebagai seorang demokrat, sebagai seorang yang berpegang kepada prinsip reformasi, saya dan juga pentadbiran ini tidak berhasrat untuk mengekang hak bersuara mahupun— ataupun khususnya hak bagi para wartawan membuat pelaporan.
Kebebasan media itu menjadi salah satu teras utama yang kita perlu bukan hanya sokong tapi kita perlu makmurkan lagi. Maka, sekali lagi saya sebut, mungkin Yang Berhormat Jelutong tidak dengar saya sebut tadi. Kad perakuan media tidak menghalang seseorang daripada membuat laporan, daripada menulis berita. Claire Rewcastle Brown tidak mempunyai kad perakuan media tapi beliau boleh menulis. Sesiapa sahaja di luar sana boleh menulis. Kad perakuan media diberikan kepada sesiapa yang ingin, contohnya datang ke Parlimen. Ataupun hadir ke majlis rasmi kerajaan seperti sambutan Hari
Tuan Ahmad Fahmi bin Mohamed Fadzil
Kebangsaan dan ingin membuat pelaporan di majlis-majlis rasmi ini ataupun hadir ke pejabat Perdana Menteri untuk membuat pelaporan.
Tapi, sesiapa yang mengikuti siaran langsung, wawancara ataupun siaran langsung kepada sidang media dan membuat pelaporan berdasarkan siaran langsung itu tidak menghalang. Kad perakuan media bukan seperti dengan izin, being called to the bar ataupun mendapat perakuan— dia bukan. It is not a doctor punya— it is not an accreditation. Bukan. Dia adalah dokumen memudah cara kehadiran wartawan untuk datang ke acara-acara rasmi, khususnya bagi kerajaan.
Jadi, saya beri jaminan. Alhamdulillah sejak saya memegang portfolio ini, tidak ada seorang pun wartawan yang telah ditangkap, diheret ke mahkamah sebagai contoh, ataupun disoal siasat setakat ini kerana membuat pelaporan ataupun seperti Yang Berhormat Jelutong sebutkan tadi, menerbitkan berita yang menceritakan tentang skandal. Tidak, tidak ada setakat ini.
Tuan Sanisvara Nethaji Rayer a/l Rajaji - Jelutong
Terima kasih Menteri.
Sungguh meyakinkan.
Tuan Yang di-Pertua
Baik, terima kasih.
Puan Wong Shu Qi - Kluang
Tuan Yang di-Pertua. Former journalist here. Boleh tanya satu soalan tambahan?
Tuan Yang di-Pertua
Saya— masa telah habis. Saya jemput Tuan Lee Chuan How, Ipoh Timor. Silakan.
3. Tuan Lee Chuan How [Ipoh Timor] minta Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam menyatakan apakah status larangan eksport nadir bumi pada ketika berlakunya peralihan teknologi bagi pemprosesan dan industri hilirannya dibangunkan, sebagai suatu langkah untuk memanfaatkan kadar ringgit yang optimum untuk eksport tersebut.
Tuan Yang di-Pertua
Sila Menteri.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam - Tuan Nik Nazmi bin Nik Ahmad
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Terima kasih Yang Berhormat Ipoh Timor.
Pelaksanaan moratorium aktiviti pengeksportan bahan mentah unsur nadir bumi
(NRREE) telah berkuat kuasa pada 1 Januari 2024 dan penilaian akan dibuat untuk setiap enam bulan. Ia telah pun dipersetujui di Mesyuarat Jemaah Menteri pada 27 Oktober 2023 yang menyatakan pelaksanaan moratorium aktiviti pengeksportan bahan mentah NRREE dijalankan sebagai inisiatif untuk membangunkan industri ini di peringkat pertengahan.
Kementerian telah memaklumkan pelaksanaan moratorium ini kepada semua kerajaan negeri melalui edaran surat bertarikh 20 Disember 2023.
Memang ada permintaan daripada beberapa kerajaan negeri untuk mempertimbangkan semula pelaksanaan moratorium tersebut. Berhubung dengan perkara tersebut, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri semasa Mesyuarat Jemaah Menteri pada 21 Februari 2024 telah menegaskan bahawa dasar sedia ada ialah tentang halangan ataupun tentang halangan untuk pengeksportan NRREE. Kita telah mengeluarkan satu lagi surat peringatan kepada kerajaan negeri pada 6 Mac 2024 yang meminta mereka untuk mematuhi pelaksanaan moratorium pengeksportan bahan mentah NRREE yang sedang berkuat kuasa. Terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua
Sila. Jemput Ipoh Timor.
Tuan Lee Chuan How - Ipoh Timor
Terima kasih Yang Berhormat Menteri.
Terima kasih Tan Sri. Kalau kita semak statistik rakan dagang China dengan Malaysia pada tahun 2023, rare earth oxide dengan izin, yang diimport oleh China daripada Malaysia adalah sejumlah 19,081 tan yang bernilai RM975 juta.
Tapi kalau kita semak statistik Malaysia kita sendiri, pengeluaran ke luar negara, maksud eksport dari segi rare earth carbonate adalah sebanyak 7,000 tan dan 3,000 nya rare earth oxide. Bermaksud, bermaksud 16,000 pengeluaran— 16,000 tan pengeluaran Malaysia adalah secara tidak rasmi atau lebih teruk lagi, secara haram.
Tuan Lee Chuan How - Ipoh Timor
Maksudnya adakah ini datang dari perlombongan dan eksport haram yang telah di beli oleh China, diperolehi oleh China dan apakah strategi jangka panjang sementara kita tunggu kemasukan teknologi transfer untuk pemprosesan dan downstream— midstream dan downstream di Malaysia? Apakah strategi kerajaan? Adakah kita nak longgok, adakah kita nak benarkan atau membuka ruang yang lebih besar bagi perlombongan haram ini yang sedang berlaku?
Akhirnya dari segi nak— kita nak jual kepada siapa, strategi nak jual kepada siapa sekiranya kita ada pemprosesan dari segi light rare earth dan heavy rare earth dari scandium, ke yttrium sehingga ke lutetium, 17 rare earth minerals ini, apakah strategi negara dalam perkara ini dan sama ada Ahli-ahli Parlimen akan dilibatkan dalam proses tersebut. Sekian.
Tuan Yang di-Pertua
Sila, Menteri.
Tuan Nik Nazmi bin Nik Ahmad
Okey, terima kasih. Kita sendiri sedar ada laporan yang menyebut daripada negara China yang sebagaimana disebut oleh Ipoh Timor tersebut yang daripada pilot project ataupun projek perintis di Kenering ialah sebanyak 3,000 tan rare earth oxide ya, yang dihasilkan daripada 7,000 tan rare earth carbonate. Jadi, tentang anggaran 16,000 itu sememangnya yang kita jangkakan, ia adalah daripada pengoperasian lombong-lombong nadir bumi haram yang ada. Kalau dalam— kita ada misalnya ya:
(i) Kompartmen 12, Hutan Simpan Bukit Enggang, Daerah Sik;
(ii) Kompartmen 346, Hutan Simpan Bintang Hijau, Pengkalan Hulu di Perak;
(iii) Hutan Simpan Piah, Daerah Kuala Kangsar di Perak;
(iv) Kompartmen 411, Hutan Simpan Ulu Jelai, Daerah Lipis;
(v) Hutan Simpan— dan seterusnya, kawasan tanah milik ada dua kawasan iaitu Kampung Sikai, Seri Menanti, Daerah Kuala Pilah, Negeri Sembilan dan Titi di Daerah Jelebu, Negeri Sembilan.
Jadi, sebab itu bagi kita ya, dia bukan yang paling penting ialah satu, soal penguatkuasaan tetapi kedua ialah bahawa hakikatnya kita sudah pun ada SOP NRREE yang telah kita kongsikan dengan kerajaan-kerajaan negeri dan juga business model yang mana kita mahu ada pendekatan yang menyeluruh dalam industri ini.
Tuan Nik Nazmi bin Nik Ahmad
Kita akan ada pertemuan sebagaimana saya ada maklumkan minggu lepas, dengan Kementerian Ekonomi, MOSTI dan juga MITI untuk kita ada satu pendekatan menyeluruh dalam hal ini.
Sebagai makluman kepada Yang Berhormat, perkara ini kita tahu ia melibatkan persaingan strategik antara pihak negara China dan juga negara Barat. Buat masa ini, negara China menguasai industri nadir bumi ataupun REE tetapi ada minat yang besar di kalangan negara-negara lain. Misalnya Eropah, Amerika, Jepun, Korea, Australia untuk mereka turut menceburi bidang ini. Pendirian Malaysia ialah kita terbuka, mana-mana.
Kita sudah pun ada kilang pemprosesan, Lynas di negeri Pahang yang merupakan kilang pemprosesan terbesar selepas negara China.
Kita juga ada melihat beberapa penambahbaikan yang boleh kita buat dari segi dasar yang melibatkan industri nadir bumi ini supaya menarik lebih banyak pemain- pemain. Sebab apa? Misalnya, Lynas, bahan-bahan yang mereka proses itu, buat masa ini daripada Australia. Mereka juga bersedia untuk proses bahan-bahan daripada negara kita. Ia dieksport ke negara Vietnam ataupun dieksport ke negara Thailand untuk diproses sebagai magnet dan sebagainya.
Jadi, kita merasakan lebih baik kilang-kilang ini dapat datang ke Malaysia untuk turut serta sebab dalam industri teknologi ataupun tenaga boleh baharu, Malaysia memainkan peranan penting. Dalam industri EV juga kita memainkan peranan penting.
Tuan Lee Chuan How - Ipoh Timur
[Bangun]
Tuan Nik Nazmi bin Nik Ahmad
Jadi, pendekatan kita ialah untuk melihat mereka dapat melabur di sini dengan– untuk terlibat di dalam industri NRREE daripada peringkat awal sehingga ke peringkat akhir.
Tuan Yang di-Pertua
Silakan.
Dato’ Sri Tuan Ibrahim bin Tuan Man - Kubang Kerian
Terima kasih. Pertama, saya ucap selamat menyambut Ramadan kepada semua umat Islam.
Keduanya, saya ucap tahniahlah kepada kerajaan kerana polisi tidak eksport hari ini adalah satu tindakan yang sangat tepat yang saya fikir oleh kerana persaingan bagi permintaan yang sangat tinggi, ia terdedah kepada kecurian dan penyeludupan REE secara sangat tinggi kerana kosnya sangat mahal.
Persoalan saya ialah, apakah mekanisme yang boleh dibuat oleh pihak kerajaan bagi membantu negeri-negeri yang mempunyai stok REE yang banyak, sama ada kerajaan membantu dari segi teknologi ataupun perkara-perkara lain terutamanya dalam penyediaan tapak pemprosesan? Persoalan kedua ialah Lynas kan telah buka dua, satu di Amerika dan satu lagi di Australia. Apakah pihak kerajaan tidak bercadang untuk membantu supaya Lynas juga turut membuka kilang memproses REE ini di negeri yang tertentu supaya kita boleh menyekat kadar kecurian dan penyeludupan REE keluar daripada negara kita? Terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua
Sila Menteri.
Tuan Nik Nazmi bin Nik Ahmad
Terima kasih Yang Berhormat. Tentang perkara ini, kita sememangnya mahu bekerjasama dengan pihak kerajaan-kerajaan negeri dan sebab itu kita merasakan kalau kita ada dasar yang mengharapkan hanya pasaran tanpa ada satu perancangan yang khusus di antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan- kerajaan negeri, kita mungkin tidak akan berjaya dalam hal ini kerana ia satu bidang yang sangat kritikal dan juga satu bidang yang teknologi dia agak terhad, bukan banyak negara yang ada.
Justeru, atas sebab itu, misalnya, kita ada– dijangkakan lebih kurang 10 negeri yang ada NRREE di Malaysia. Tetapi, tidak mungkin semua negeri ini dapat menjadi pelombong dan kemudian membuat kerja-kerja yang sama, duplicate antara satu negeri dengan negeri yang lain kerana modal besar dan sebagainya.
Jadi, sebab itu kita memang merasakan bahawa perlu ada satu perbincangan yang khusus tentang hal ini. Sebagai contoh, macam sebagaimana yang disebut oleh Yang Berhormat sebentar tadi, Lynas kini mereka telah pun mewujudkan– sebab Lynas sekarang memproses bijih daripada Australia dan jenis bijihnya berbeza dengan apa yang ada di negara kita.
Jadi, mereka sudah pun membuka satu lagi line di dalam kilang mereka di Pahang itu untuk memproses bijih yang datang daripada Malaysia yang sesuai dengan bijih yang ada di negara kita. Jadi, daripada– tetapi, kita ada juga beberapa pemain-pemain lain yang berminat untuk masuk ke dalam negara kita dan kita akan cuba lihat apa galakan yang boleh kita berikan untuk membolehkan mereka beroperasi di sini.
Memang sekarang ada beberapa negara. Kalau dari segi perlombongan negara Myanmar, negara Vietnam yang juga turut serta di dalam NRREE ini. Kalau Vietnam juga mereka sudah pun ada beberapa kilang pemprosesan. Jadi, kita juga ingin menceburi satu pendekatan yang menyeluruh dalam soal NRREE ini. Terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua
Baik. Yang Berhormat, sekarang tamatlah sesi untuk Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri pada hari ini.
[Sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri tamat]
Tuan Yang di-Pertua
Baik. Kita mulakan Waktu Pertanyaan Soal Jawab Lisan dengan menjemput Puan Wong Shu Qi, Kluang.
1. Puan Wong Shu Qi [Kluang] minta Menteri Kewangan menyatakan sama ada badan berkanun atau badan bukan berkanun kerajaan diizinkan melabur dalam bentuk opsyen, ekuiti swasta, forex dan sebagainya.
Tuan Yang di-Pertua
Silakan Menteri.
Menteri Kewangan II - Datuk Seri Amir Hamzah Azizan
Terima kasih. Tan Sri Yang di-Pertua, badan berkanun ditubuhkan di peringkat Persekutuan dan negeri. Setiap badan berkanun dikawal selia oleh akta tubuh masing-masing. Tidak semua badan berkanun dibenarkan membuat pelaburan. Kebenaran membuat pelaburan adalah tertakluk kepada akta tubuh badan berkanun masing-masing. Sekiranya akta tubuh sesebuah badan berkanun itu tidak memberi kuasa untuk membuat pelaburan, maka sepatutnya sebuah badan berkanun itu tidak boleh membuat pelaburan kerana ia tindakan yang boleh dianggap “ultra vires” akta tubuhnya.
Beberapa badan berkanun menetapkan keperluan untuk rujuk kepada Kementerian Kewangan untuk kelulusan berhubungan pelaburan. Dalam membuat pertimbangan berhubungan jenis pelaburan yang dibenarkan bagi sesuatu badan berkanun, Kementerian Kewangan mengambil kira mandat penubuhan badan berkanun, pengurusan risiko pelaburan serta kepakaran pelaburan badan berkanun tersebut.
Badan Berkanun Persekutuan (BBP) yang bertaraf GLIC, antaranya KWSP, KWAP dan LTH mempunyai mandat penubuhan dengan aktiviti teras untuk membuat pelaburan dan mempunyai pasukan pegawai yang memiliki kepakaran dalam mengurus portfolio pelaburan. Dengan itu, secara amnya GLIC dibenarkan untuk melabur dalam kelas pelaburan yang lebih luas termasuk opsyen ekuiti swasta, pelaburan di luar negara.
Namun begitu, terdapat kawalan risiko serta tata kelola bagi mengurangkan risiko kerugian pelaburan.
Sebagai contoh, KWAP memerlukan kelulusan Menteri Kewangan untuk melantik ahli panel pelaburan dan untuk membuat pelaburan dalam aset seperti bangunan dan ekuiti persendirian. Kementerian Kewangan juga mengehadkan peratusan pelaburan yang boleh dilaburkan di luar negara. Bagi GLIC yang mempunyai kepakaran tersebut, mereka telah memberi tumpuan kepada pelaburan yang boleh mendatangkan pulangan yang tinggi kepada agensi berkenaan seperti ekuiti pasaran wang, debentur dan sekuriti.
Namun begitu, bagi BBP yang tidak bersifat GLIC, agensi berkenaan tidak melaksanakan pelaburan sebagai aktiviti teras dan tidak mempunyai pasukan pegawai yang memiliki kepakaran dalam hal pelaburan. Oleh itu, BBP seperti universiti awam hanya dibenarkan menumpukan kepada pelaburan yang berisiko rendah, stabil dan mendatangkan pulangan yang minima. Antaranya, simpanan tetap dan bon atau sukuk kerajaan.
Terdapat sesetengah akta BBP yang memperuntukkan supaya semua jenis pelaburan BBP mendapat pertimbangan Menteri Kewangan seperti MIROS, FINAS, PERKESO dan lain-lain. Jadi, untuk mereka ini seperti HRD, ia juga di bawah kawalan menteri masing-masing. Terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua
Baik. Saya jemput Kluang.
Puan Wong Shu Qi - Kluang
Terima kasih Menteri Kewangan atas jawapan yang sangat lengkap dan jelas. Jadi, boleh saya tahu apa peranan wakil MOF yang dilantik dalam kesemua badan berkanun atau badan bukan berkanun termasuklah Companies Limited by Guarantee (CLBG)? Apa tindakan boleh diambil oleh Kementerian Kewangan jikalau berlaku keputusan pelaburan yang dibuat oleh entiti tersebut bercanggah dengan pandangan wakil MOF yang duduk dalam lembaga pengarah entiti tersebut?
Puan Wong Shu Qi - Kluang
Siapa yang mempunyai kuasa dan juga tanggungjawab muktamad atas keputusan tersebut kalau berlaku kerugian terhadap pelaburan itu? Paling penting sekali ya, sama ada kerajaan akan menggalakkan pelaburan seperti opsyen dilakukan oleh agensi atau CLBG yang menguruskan dana awam atau mengutip caj dari orang awam?
Puan Wong Shu Qi - Kluang
Contohnya, tapi tadi Menteri sudah sebutlah KWSP, KWAP, PNB, PERKESO dan sebagainya. Adakah bentuk pelaburan ini digalakkan untuk dapat keuntungan yang lebih tinggi? Kalau entiti itu ia ada pasukan pegawai yang pakar dalam pelaburan dan berlaku kerugian, sama ada kerajaan akan tanggungjawab dan buat bayaran sebagainya. Terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua
Sila, Menteri.
Datuk Seri Amir Hamzah Azizan
Terima kasih, Yang Berhormat Kluang. Ini soalan yang agak lebar. Saya akan cuba beberapa perkaralah. Pertama, soalan peranan wakil MOF sebagai lembaga pengarah di dalam badan berkanun dan bukan berkanun. Ini adalah dari segi mereka memantau untuk melaksanakan tanggungjawab secara fiduciary seperti dinyatakan di bawah akta-akta badan berkanun masing-masing. Mereka juga memastikan syarikat badan-badan berkanun bergerak dalam akta yang diberikan, yang dimandatkan.
Jika ada percanggahan yang ada kerana ada perbezaan, wakil MOF akan menerangkan pendirian MOF. Tetapi, kerana di bawah kawal selia yang diberikan, lembaga ada diberi kelonggaran untuk membuat keputusan mereka sendiri. Namun, MOF akan memantau juga kalau kita merasa isu-isu berat, kita akan juga berjumpa dengan kementerian kawal selia mereka.
Dari segi soalan tadi tentang opsyen sebagai satu cara untuk meninggikan pulangan. Dari segi apa yang kita berikan kelonggaran untuk badan-badan berkanun melabur, ia haruslah dipadankan dengan risk appetite dengan izin, tiap-tiap badan berkanun. Dari segi badan berkanun yang memungut wang daripada pencarum seperti EPF dan mereka berada dalam keadaan yang mereka boleh mengawal selia dengan baik kerana ada pegawai-pegawai yang bertauliah.
Maka mereka dibenarkan melabur tapi control mereka adalah melalui asset allocation yang dibenarkan. Jadi dalam segi asset allocation itu, ia mengawal berapa banyak yang boleh diletakkan dalam aset kelas-aset kelas yang diberikan. Terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua
Baik, saya jemput Kubang Pasu.
Dato' Wira Dr. Ku Abd Rahman bin Ku Ismail - Kubang Pasu
Terima kasih Yang Berhormat Tan Sri Speaker.
Dr. Radzi bin Jidin - Putrajaya
Putrajaya bangun dulu Speaker.
Dato' Wira Dr. Ku Abd Rahman bin Ku Ismail - Kubang Pasu
Saya tahu...
Siapa?
Tuan Yang di-Pertua
Kubang Pasu.
Dato' Wira Dr. Ku Abd Rahman bin Ku Ismail - Kubang Pasu
Kubang Pasu, okey. Tan Sri Speaker dan Yang Berhormat Menteri, mungkin terdapat syarikat-syarikat, company limited by guarantee atau syarikat berhad dengan jaminan, terlibat dalam pelaburan dalam pelbagai bentuk seperti equity capital market, FOREX dan sebagainya.
Dalam hubungan ini, saya ingin bertanya kepada Menteri soalan yang berikut.
Adakah MOF ataupun kerajaan berhasrat atau merancang untuk menggubal akta baharu atau menambah baik akta yang sedia wujud bertujuan untuk mengawal selia dan memperkukuhkan lagi tadbir urus, governance CLBG, company limited by guarantee iaitu syarikat-syarikat di bawah kementerian bukannya di bawah MOF? Terima kasih, Tan Sri.
Tuan Yang di-Pertua
Baik, Menteri.
Datuk Seri Amir Hamzah Azizan
Terima kasih, Tan Sri Yang di-Pertua. Terima kasih juga atas soalan tadi, Yang Berhormat Kubang Pasu. Kalau kita lihat daripada segi
Datuk Seri Amir Hamzah Azizan
CLBG, ini adalah satu sistem di mana badan berikut dijamin daripada guarantee yang ditubuhkan.
Seperti yang saya ceritakan tadi, badan-badan berkanun atau badan-badan bukan berkanun telah dikawal selia dari segi akta-akta masing-masing. Jadi kita berharap bahawa tiap-tiap kementerian yang ada, badan-badan berkanun yang dikawal selia secara CLBG itu dapat memantau aset-aset yang ada di bawah mereka.
Kalau kita nampak daripada segi trend, Kementerian Kewangan akan sentiasa memantau trend-trend yang ada. Kalau ada cara yang boleh kita menambahbaikkan kita akan berbincang untuk mencari jalan untuk menambahbaikkan.
Buat masa sekarang apa yang penting ialah mereka yang diletak di dalam panel- panel pelaburan, mereka yang diletak dalam lembaga pengarah adalah satu control figure yang penting. Kita kena letak orang-orang yang betul-betul berkemampuan untuk mengawal selia pelaburan yang dibuatkan. Itulah primary control yang kita ada. Dari segi itu, kita berharap mereka yang ada fiduciary duty ini akan menjalankan tugas yang betul.
Kalau mereka tidak boleh, kita akan cari jalan untuk mengeluarkan dan memasukkan yang baik. Terima kasih, Tan Sri Speaker.
Tuan Yang di-Pertua
Baik, seterusnya saya jemput...
Dr. Radzi bin Jidin - Putrajaya
Speaker, satu lagi boleh? Penting soalan ini.
Tuan Yang di-Pertua
No, saya jemput Tuan Muhammad Ismi bin Mat Taib, Parit.
Tuan Muhammad Ismi bin Mat Taib - Parit
Terima kasih Tan Sri Yang di- Pertua, Assalamualaikum, selamat berpuasa. Soalan saya nombor 2.
2. Tuan Muhammad Ismi bin Mat Taib [Parit] minta Menteri Dalam Negeri menyatakan:
(a) statistik kes pemerdagangan manusia di negara kita pada waktu ini; dan
(b) usaha-usaha yang diambil oleh kementerian sehingga kini bagi menangani jenayah ini.
Tuan Yang di-Pertua
Silakan Menteri.
Timbalan Menteri Dalam Negeri - Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar bin Haji Nasarah
Terima kasih Yang Berhormat Tan Sri, sahabat saya Yang Berhormat Parit.
Kementerian Dalam Negeri sentiasa memberi perhatian yang serius dalam membanteras jenayah pemerdagangan orang yang berlaku di Malaysia.
Kita ada Majlis Anti Permerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran
(MAPO) yang diketuai oleh KDN dan dianggotai 22 kementerian, agensi, organisasi lain dan badan bukan kerajaan yang merupakan penyelaras dan pelaksana kepada pelbagai bentuk tindakan dan juga langkah-langkah bagi membanteras jenayah ini.
Malaysia juga mempunyai perundangan domestik iaitu Akta Antipermerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670) dan juga kita punya perancangan strategik iaitu Pelan Tindakan Kebangsaan Antipemerdagangan Orang 2021-2025 bagi menangani jenayah pemerdagangan orang.
Untuk makluman Yang Berhormat, untuk tahun 2024, sebanyak 38 kes pemerdagangan orang yang melibatkan 59 tangkapan telah direkodkan. Seramai 141 orang diselamatkan. Daripada 2022 sehingga 2024 terkini kini, bilangan kes ialah 280, tangkapan 526, orang yang diselamatkan ialah 992.
Akta 670 ini juga telah diperkasa melalui pindaan pada tahun 2022 yang memberi tumpuan kepada beberapa penambahbaikan termasuk mengenai definisi pemerdagangan orang yang bertujuan untuk menambah baik pengenalpastian mangsa serta meningkatkan bilangan pendakwaan dan sabitan kes pemerdagangan orang.
Timbalan Menteri Dalam Negeri - Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar bin Haji Nasarah
Untuk makluman Yang Berhormat juga, selain itu pindaan tersebut juga memberi tumpuan kepada aspek pencegahan dengan memberikan hukuman lebih berat kepada pesalah jenayah ini. Antara tindakan dan langkah-langkah berterusan yang sedang dan telah diambil oleh kerajaan dalam memperkasa usaha menangani jenayah ini.
Antaranya ialah penguatkuasaan dan pendakwaan iaitu pindaan akta kepada tafsiran pemerdagangan orang iaitu dengan mengeluarkan definisi paksaan, membantu agensi penguatkuasaan membuat siasatan, sekali gus meningkatkan peluang dan pendakwaan. Ini satu daripada langkah penguatkuasaan dan pendakwaan.
Kita juga mengadakan program perlindungan iaitu penambahbaik prosedur operasi standard (SOP) bagi penjagaan dan perlindungan orang yang diperdagangkan.
Banyak lagi langkah-langkah lain. Antaranya juga membekal setiap orang yang diselamatkan atau mangsa yang ditempatkan di rumah perlindungan dengan self-care kit, yang mengandungi maklumat-maklumat yang penting kepada mereka.
Kita juga membuat pencegahan iaitu melaksanakan inisiatif untuk pihak majikan menyertai aku janji dan ikrar bagi bersama-sama dengan pihak kerajaan dalam menangani pemerdagangan orang dan buruh paksa.
Saya nak maklumkan bahawa empat syarikat telah pun membuat aku janji.
Antaranya FGV, Panasonic, Top Glove dan juga Harta Maintenance dan ada 24 syarikat lain. Kementerian Dalam Negeri sendiri, semua syarikat yang mendapat kontrak daripada KDN, mesti melaksanakan aku janji dan ikrar bebas buruh paksa ini.
Kerjasama strategik juga kita lakukan untuk meningkatkan kerjasama, sama ada di peringkat domestik dan juga di peringkat antarabangsa. Tan Sri terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua
Baik, Parit.
Tuan Muhammad Ismi bin Mat Taib - Parit
Terima kasih. Soalan tambahan saya — sebelum itu, terima kasih kepada Menteri atas jawapan yang diberikan, iaitu bagaimanakah pada waktu ini kerjasama dijalinkan dengan organisasi antarabangsa negara jiran dan lainnya untuk memerangi rangkaian penyeludupan atau pemerdagangan manusia ini? Juga, tadi telah disebutkan tentang langkah-langkah penguatkuasaan.
Bagaimana pula langkah-langkah untuk memberikan kesedaran kepada masyarakat tentang masalah ini? Terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua
Sila Menteri.
Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar bin Haji Nasarah
Terima kasih sahabat saya.
Parit. Kita sentiasa melakukan usaha untuk meningkatkan kesedaran melalui kempen- kempen sama ada melalui media arus perdana, televisyen, media sosial, program turun padang dan juga program-program lain yang memberi maklumat kepada rakyat supaya berwaspada dan tidak terlibat dengan jenayah penipuan ini.
Program-program kesedaran ini kita laksanakan juga melalui kerjasama dengan kementerian lain, misalnya dengan Kementerian Komunikasi untuk mengadakan program-program siaran melalui media elektronik, misalnya temu bual, juga penerbitan risalah-risalah dan artikel dan juga penyebaran maklumat melalui publisiti dengan billboard statik dan sebagainya. Ini langkah-langkah yang kita buat. Namun demikian, kita harap rakyat sentiasa merujuk kepada maklumat rasmi bagi membolehkan tidak terlibat dengan jenayah yang bahaya. Terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua
Sila Jempol.
Dato’ Haji Shamshulkahar bin Mohd Deli - Jempol
Terima kasih Tan Sri Speaker. Berhubung dengan isu ini, rakyat Malaysia yang terjebak dengan sindiket ini juga kebanyakan menjadi mangsa di kalangan negara-negara ASEAN. Jadi, apakah kerjasama dan juga komitmen negara ASEAN untuk menangani jenayah khususnya di kalangan negara-negara ASEAN? Terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua
Sila Menteri.
Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar bin Haji Nasarah
Terima kasih Tan Sri. Terima kasih sahabat saya Jempol. Malaysia mempunyai kerjasama strategik dengan negara- negara jiran melalui platform ASEAN. Malaysia telah membawa isu jenayah penipuan pekerja ini di peringkat ASEAN dan dibincangkan misalnya dalam Mesyuarat Plenari Menteri-menteri Keselamatan ASEAN Mengenai Jenayah Rentas Sempadan (AMMTC) dan juga mesyuarat di peringkat pegawai-pegawai kanan ASEAN mengenai jenayah rentas sempadan sejak tahun 2022 lagi.
Untuk makluman, isu ini ia menjadi agenda tetap bagi kedua-dua mesyuarat ini dan tentunya pertukaran maklumat, kerjasama, data dan sebagainya dapat dilakukan.
Mesyuarat terakhir yang diadakan di peringkat pemimpin kerajaan dan juga pegawai- pegawai ialah di Labuan Bajo pada tahun 2023 lalu. Apa pun, kita sentiasa juga meningkatkan kerjasama.
Selain daripada itu, PDRM dengan kerjasama diplomat asing negara ASEAN dan kita juga mengadakan kerjasama dengan badan bukan kerajaan, misalnya INTERPOL, ASEANAPOL dan agensi-agensi berkuasa yang lain. Terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua
Baik. Seterusnya, saya menjemput Tuan Yusuf bin Abd Wahab, Tanjong Manis.
Tuan Yusuf bin Abd Wahab - Tanjong Manis
Terima kasih Tan Sri Yang di- Pertua.
Bulan Ramadan bulan puasa, Soalan saya Nombor tiga.
3. Tuan Yusuf bin Abd. Wahab [Tanjong Manis] minta Menteri Pendidikan menyatakan berapa kos yang telah dibelanjakan untuk membaik pulih sekolah-sekolah daif di kawasan Parlimen Tanjong Manis sepanjang tahun 2023. Berapa peruntukan untuk tahun 2024 dan berapa banyak sekolah yang terlibat.
Tuan Yang di-Pertua
Sila Menteri.
Timbalan Menteri Pendidikan - Tuan Wong Kah Woh
Terima kasih Tan Sri Speaker. Terima kasih Yang Berhormat dari Tanjong Manis. Salam sejahtera dan selamat menyambut Ramadhan Mubarak saya ucapkan kepada semua.
Tan Sri Yang di-Pertua, Kementerian Pendidikan Malaysia sentiasa komited dalam usaha meningkatkan akses pendidikan melalui penyediaan prasarana dan kemudahan infrastruktur pendidikan kepada semua murid di seluruh negara. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, khususnya di Parlimen Tanjong Manis bagi tahun 2023, sebanyak RM38.65 juta telah diluluskan untuk membiayai pelaksanaan kerja pembangunan semula bangunan daif di sekolah di kawasan Parlimen Tanjong Manis.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM11.91 juta telah pun dibelanjakan.
Manakala bagi peruntukan tahun 2024 pula, sebanyak RM16.98 juta peruntukan telah pun diluluskan untuk pelaksanaan projek pembangunan semula bangunan daif di sekolah yang berada di pelbagai fasa pembinaan melibatkan jumlah 12 projek.
Beberapa projek telah siap sejak tahun 2016 iaitu nombor satu, SK St. Andrew; nombor dua, SK Sg Selidap; nombor tiga, SK Bukit Kinyau; nombor empat, SK Muara Payang; nombor lima, SK Kampong Serdeng iaitu ini khususnya untuk projek pembinaan empat unit kuarters yang telah pun siap pada 24 Februari 2022. Maka, bakinya terdapat 10 projek yang masih dalam peringkat pra bina. KPM akan terus komited untuk memastikan kesemua projek pembinaan akan dilaksanakan mengikut tempoh yang ditetapkan. Terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua
Sila Tanjong Manis.
Tuan Yusuf bin Abd Wahab - Tanjong Manis
Terima kasih Tan Sri Yang di- Pertua. Terima kasih sahabat saya Timbalan Menteri. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Pendidikan kerana pada tahun lepas telah membina projek tandas sekolah di hampir setiap sekolah di kawasan Parlimen saya. Sekolah — blok
Tuan Yusuf bin Abd Wahab - Tanjong Manis
tandas tersebut merupakan antara bangunan yang tercantiklah di kawasan sekolah tersebut kerana bangunan lainnya semua sudah daif.
Soalan saya, pada tahun 2024 ini, apakah kementerian ada inisiatif baharu disebabkan mungkin boleh membina sebagai contoh, kawasan parkir yang lebih besar di luar pagar sekolah kerana sering kali terjadi kesesakan di luar pagar dan terjadi juga double parking yang boleh membahayakan pelajar dan ibu bapa ataupun kementerian boleh — satu lagi, kementerian boleh membina bangsal menunggu yang berbumbung supaya ibu bapa pelajar tidaklah terdedah kena panas ataupun hujan ketika menunggu anak mereka balik daripada sekolah. Ini mungkin satu inisiatif yang boleh dibuat oleh kementerian pada tahun 2024 ini. Terima kasih Timbalan Menteri.
Tuan Yang di-Pertua
Sila Menteri.
Tuan Wong Kah Woh
Terima kasih Yang Berhormat Tanjong Manis. Dua perkara yang perlu saya jawab. Nombor satu, berkenaan dengan permohonan untuk pembinaan struktur baharu ataupun isu penyelenggaraan. Pihak KPM sepanjang masa ini mengambil satu sikap dan pendekatan need-based dengan izin, yang mana sekiranya ada keperluan, bolehlah kemukakan permohonan kepada PPD masing-masing.
Pada tahun 2024, secara spesifiknya juga saya ingin menyatakan bahawa projek pembinaan semula bangunan daif di SK Mupong telah pun diluluskan pada tahun 2024 melibatkan suatu peruntukan sebanyak RM51.3 juta. Skop kerja melibatkan merobohkan bangunan daif dan membina semula enam bilik darjah asrama lelaki 25 orang, asrama perempuan 25 orang, 10 kuarters guru kelas F dan lain-lain. Nombor dua, juga melibatkan perolehan perabot, peralatan dan kelengkapan mengikut piawai. Ini merupakan projek yang diluluskan tahun 2024. Terima kasih.
Tuan Ahmad Tarmizi bin Sulaiman - Sik
Tan Sri Speaker, sikit.
Datuk Willie anak Mongin - Puncak Borneo
Puncak Borneo.
Tuan Ahmad Tarmizi bin Sulaiman - Sik
Soalan tambahan.
Tuan Yang di-Pertua
Ya, Sik.
Tuan Ahmad Tarmizi bin Sulaiman - Sik
Sik boleh ya?
Tuan Yang di-Pertua
Sik, ya.
Tuan Ahmad Tarmizi bin Sulaiman - Sik
Terima kasih Tuan Speaker. Terima kasih Yang Berhormat Timbalan Menteri. Isu sekolah daif kita di Malaysia sudah berlanjutan sekian lama dan ini cabaran paling besar di pihak Kementerian Pendidikan.
Pihak PAC telah pun membuat prosiding berkaitan dengan Laporan Audit Negara bagaimana jumlah sekolah daif ini terus meningkat. Tahun lepas sahaja 830 buah sekolah.
Jadi soalan saya, adakah isu bajet itu sendiri yang perlu dipohon kepada Kementerian Ekonomi menjadi halangan utama ataupun kapasiti Kementerian Pendidikan sendiri yang masih lagi belum mencukupi untuk memastikan sekolah-sekolah daif kita ini dapat diselesaikan daripada skala enam, tidak sampai ke skala tujuh dan dapat kita ada target supaya satu waktu tidak ada lagi sekolah daif di seluruh Malaysia termasuk di Sik dan di tempat-tempat lain.
Tuan Wong Kah Woh
Terima kasih rakan saya dari Sik, rakan lama saya di PAC. Untuk makluman Yang Berhormat Sik, di seluruh negara, jumlah projek sekolah daif sejak tahun 2016 sehingga sekarang adalah sejumlah 1,069 projek yang mana projek siap adalah sebanyak 694 projek, yang masih dalam pembinaan 159, pra bina 216. Saya mengambil maklum berkenaan dengan prosiding PAC yang telah pun dilaksanakan. Tidak silap saya pada bulan Januari dan juga site visit ataupun lawatan tapak oleh pihak PAC pada bulan Februari.
Tuan Wong Kah Woh
Pihak Kementerian Pendidikan Malaysia, saya percaya melalui KSU kita telah pun memberikan penjelasan dan kerjasama yang sebaik mungkin kepada pihak PAC supaya pihak PAC dapat membuat satu laporan yang komprehensif dan lengkap. Sememangnya berkenaan dengan bilangan bangunan daif dalam sistem KPM, sememangnya ada angka
Tuan Wong Kah Woh
dia akan turun naik, yang mana ada yang sudah sampai ke skala 6 apabila kerja-kerja penyelenggaraan dilaksanakan, maka ia akan diklasifikasikan sebagai skala 5 dan sebagainya.
Ada yang tidak dapat lagi diselenggarakan maka pihak JKR akan turut untuk mengklasifikasikannya sebagai bangun daif skala 7. Memang angka itu akan naik turun pada setiap masa. Namun demikian, KPM komited untuk memastikan kebajikan sekolah dan murid adalah terjaga pada sepanjang masa. Terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua
Baik. Saya jemput Datuk Muslimin bin Yahaya, Sungai Besar
Datuk Muslimin bin Yahaya - Sungai Besar
*Bismillahi Rahmani Rahim.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.* Tuan Yang di-Pertua, soalan saya nombor empat.
4. Datuk Muslimin bin Yahaya [Sungai Besar] minta Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi menyatakan jumlah penerima manfaat di bawah Skim Program Pembangunan Usahawan Masyarakat India (SPUMI) sehingga kini, serta apakah usaha penambahbaikan kementerian supaya lebih ramai penerima dalam kalangan masyarakat India dapat memanfaatkannya?
Tuan Yang di-Pertua
Silakan, Menteri.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi - Dato’ Ramanan Ramakrishnan
Tan Sri Yang di-Pertua, selamat menyambut bulan Ramadan kepada semua umat Islam saya ucapkan.
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, sejak mula dilancarkan pada tahun 2008 hingga Januari 2024, Skim Pembangunan Usahawan Masyarakat India (SPUMI) di bawah TEKUN Nasional telah membantu seramai 28,439 orang usahawan masyarakat India melibatkan pembiayaan berjumlah RM442,600,000. Untuk makluman Yang Berhormat juga, kerajaan terutamanya Yang Amat Berhormat Perdana Menteri mengambil berat akan pembangunan usahawan di kalangan masyarakat India.
Sehubung itu, bagi tahun 2024 sebanyak RM30 juta telah disediakan di bawah skim SPUMI ini yang dijangka akan memanfaatkan seramai 1,600 orang usahawan masyarakat India. Tetapi kita kena ambil beritahu juga, bagi tahun 2023 walaupun jumlah RM30 juta diperuntukkan, TEKUN telah memberi bantuan peruntukan tambahan sebanyak RM11.6 juta. Making it RM41.6 million, dengan izin.
SPUMI dalam kalangan usahawan masyarakat India telah mengadakan kerjasama dengan Unit Transformasi Masyarakat India (MITRA), Malaysian Associated Indian Chambers of Commerce and Industry (MAICCI) serta persatuan dan pertubuhan bukan kerajaan bagi meningkatkan hebahan mengenai skim SPUMI.
Kami telah menyediakan kaunter khidmat nasihat semasa program pameran atau program keusahawanan yang diadakan oleh KUSKOP dan agensi seperti Showcase Satu Daerah Satu Industri (SDSI) dan Minggu Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) termasuk melalui penganjuran Karnival TEKUN MADANI Selangor yang telah diadakan pada 1 hingga 3 Mac 2024 bagi memberi penjelasan secara langsung mengenai skim SPUMI dan juga mempromosikan skim SPUMI memalui laman sesawang dan media sosial rasmi TEKUN Nasional. Sekian, terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua
Baik. Saya jemput Sungai Besar.
Datuk Muslimin bin Yahaya - Sungai Besar
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Terima kasih pada Yang Berhormat Menteri atas jawapan. Kita tahu usahawan informal dan mikro daripada kuam India sentiasa diberi perhatian, diberi kemudahan terutamanya selepas era pandemik COVID-19 di bawah Kerajaan PN dan pada waktu kelulusan 152.2 peratus dengan lebihan RM10.44 juta pada waktu dan telah mendapat teguran. Tetapi itu adalah inisiatif yang kita berikan kepada mereka untuk mereka maju dalam bidang keusahawanan.
Datuk Muslimin bin Yahaya - Sungai Besar
Jadi, yang terkini kita tahu ada inisiatif daripada Timbalan Menteri sendiri yang mencadangkan peruntukan SPUMI yang berjumlah RM30 juta itu ditambah seiring dengan cabaran semasa. Soalan saya mudah, Yang Berhormat Menteri, adakah cadangan tambahan peruntukan usahawan untuk kaum India telah diluluskan? Jika tidak diluluskan, apakah perancangan lain untuk bantu mereka? Terima kasih, Tuan Yang di- Pertua.
Tuan Yang di-Pertua
Silakan, Menteri.
Dato’ Ramanan Ramakrishnan
Terima kasih Yang Berhormat. Bantuan untuk SPUMI...
Tuan Sanisvara Nethaji Rayer a/l Rajaji - Jelutong
[Bangun]
Dato’ Mohd Isam bin Mohd Isa - Tampin
[Bangun]
Tuan Yang di-Pertua
Ya, silakan Menteri.
Dato’ Ramanan Ramakrishnan
Bantuan penambahan pembiayaan dan dana untuk SPUMI telah kami mintakan. Tetapi buat masa ini, seperti yang kita – saya beritahu tadi Yang Berhormat, pada tahun 2023 walaupun bantuan sejumlah RM30 juta sahaja yang diperuntukkan, malah TEKUN dengan menggunakan bantuan dalaman telah memberi peruntukan tambahan sebanyak RM11.6 juta. Maka, ia telah naik sehingga RM41.6 juta. Memang untuk tahun ini bantuan lebih kita telah meminta. Kalau tidak diperlukan, kami akan cuba untuk menggunakan bantuan dalaman seperti yang telah digunakan pada tahun 2023. Terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua
Saya jemput Jelutong.
Tuan Sanisvara Nethaji Rayer a/l Rajaji - Jelutong
Terima kasih, Tan Sri Speaker. Yang Berhormat Sungai Buloh, terima kasih di atas penjelasan tadi. Cuma berkenaan dengan MITRA, dahulunya MITRA berada di bawah Jabatan Perdana Menteri, dipengerusikan Yang Berhormat dan kita lihat bahawa pengagihan peruntukan melalui Yang Berhormat dan ahli-ahli jawatankuasa memang telus. Matlamatnya untuk membantu sosioekonomi orang India telah tercapai.
Yang Amat Berhormat Perdana Menteri telah mengumumkan bahawa MITRA sekarang akan dipindahkan kepada Kementerian Perpaduan. Ada cadangan daripada – saya difahamkan, boleh disahkan atau tidak bahawa jawatankuasa itu tidak lagi akan berfungsi. Yang Berhormat Batu tidak akan diberi apa-apa kuasa dan bahawa Yang Berhormat Menteri Perpaduan telah mencadangkan untuk menyerahkannya kepada sebuah syarikat swasta untuk mengagihkan peruntukan MITRA. Ini adalah desas-desus yang kami dengar.
Kalau itu berlaku, saya risau dan khuatir apa yang berlaku sebelum ini akan berulang di mana peruntukan MITRA diagihkan tanpa sebarang ketelusan dan akan bermula apa-apa masalah atau pengagihan yang tidak teratur dan sebagainya. Jadi, saya mohon penjelasan daripada Yang Berhormat sama ada jawatankuasa yang telah ditubuhkan oleh Yang Amat Perdana Menteri itu akan terus berfungsi di bawah Pengerusi Yang Berhormat Batu ataupun adakah Kementerian Perpaduan bercadang untuk menyerahkan peruntukan MITRA itu kepada syarikat swasta untuk diagihkan oleh syarikat swasta? Mohon penjelasan, Yang Berhormat. Terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua
Sila, Menteri.
Dato’ Ramanan Ramakrishnan
Terima kasih sahabat saya daripada Jelutong.
Sebenarnya soalan ini lagi baik ditujukan kepada Kementerian Perpaduan tetapi saya cuba jawab secara detil sikit. Memang Batu telah dilantik untuk menjadi Pengerusi Jawatankuasa Khas MITRA ataupun MITRA. Tetapi MITRA telah dipindah kepada Kementerian Perpaduan, jadi Menteri Kementerian Perpaduan yang akan mengambil alih untuk – kalau perlu jawatankuasa ditubuhkan atau tidak mengikut keperluan kementerian.
Terima kasih Yang Berhormat.
Tuan Yang di-Pertua
Baik, seterusnya saya menjemput Tuan Mohd Sany bin Hamzan, Hulu Langat.
Tuan Mohd Sany bin Hamzan - Hulu Langat
Baru betul. Kalau tidak salah sebut nama bapa saya. Jelutong, soalan baik tapi salah bilik. Soalan saya nombor lima.
Tuan Yang di-Pertua
Terima kasih.
5. Tuan Mohd Sany bin Hamzan [Hulu Langat] minta Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menyatakan adakah kementerian akan memperkenalkan mekanisme lebih terperinci dan menyeluruh termasuk kuasa penguatkuasaan kepada agensi penguatkuasaan yang lain untuk mengawasi warga emas dan OKU dieksploitasi dalam aktiviti meminta sedekah atau mengutip derma atas nama jualan amal seperti yang berleluasa sekarang.
Tuan Yang di-Pertua
Sila, Menteri.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat - Datuk Seri Dr. Noraini binti Ahmad
Terima kasih Tan Sri Speaker dan juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Yang Berhormat Hulu Langat yang menanya soalan nombor lima. Saya nak mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat menyambut bulan Ramadan kepada semua umat Islam terutamanya kepada rakan-rakan Ahli Parlimen.
Tuan Yang di-Pertua, aktiviti pengemisan dan mengutip derma atas nama jualan amal tanpa kebenaran merupakan satu kesalahan di bawah akta-akta dan undang- undang kecil yang dikuatkuasakan oleh agensi penguatkuasaan. Antaranya seperti berikut, tiga akta yang dikuatkuasakan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM):
(i) Akta Pungutan Rumah ke Rumah dan di Jalan 1947 [Akta 200];
(ii) Seksyen 420 Kanun Keseksaan [Akta 574]; dan
(iii) Seksyen 27(c) Akta Kesalahan Kecil 1955 (Peminta-peminta sedekah).
Manakala, terdapat undang-undang di bawah pihak berkuasa negeri dan tempatan iaitu Akta Kerajaan Tempatan 1976 [Akta 171] dan undang-undang kecil.
KPWKM sentiasa peka dan prihatin atas kesejahteraan kumpulan sasar di bawah KPWKM ini, namun terhad dalam bidang kuasa dan keupayaannya, adalah terhad ataupun tertakluk kepada peruntukan Akta Orang-orang Papa 1977.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat - Datuk Seri Dr. Noraini binti Ahmad
KPWKM melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat, telah menjalankan beberapa tindakan dalam usaha menangani isu pengemisan secara jangka pendek dan jangka panjang. Antara usaha-usaha yang sedang dilakukan adalah ops menyelamat orang- orang papa secara serta-merta berjadual, berkala di kawasan-kawasan hot spot seperti di pusat bandar Kuala Lumpur dan mengambil kira terdapat akta-akta lain yang turut dikuatkuasakan oleh agensi-agensi seperti yang saya sebutkan tadi. JKM menjalankan operasi ini secara bersepadu selaras dengan pelbagai akta berkenaan.
Yang keduanya pula, bagi jangka masa panjang, KPWKM kini sedang melaksanakan kajian semakan semula Akta Orang-orang Papa 1977 untuk melihat akta ini secara komprehensif bagi menambah baik pengendalian isu orang papa dan gelandangan. KPWKM mensasarkan dapatan kajian ini akan diguna pakai sebagai asas pertimbangan dalam merasionalkan ketetapan berkaitan mekanisme penyelesaian isu pengemisan, gelandangan, aspek pemulihan dan penguatkuasaan.
Tuan Yang di-Pertua, sesungguhnya penyelesaian kepada isu ini bukan hanya terletak di bahu KPWKM semata-mata. Justeru, kerjasama dan sokongan semua pihak amatlah dialu-alukan termasuklah kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan dan juga orang awam dalam menyelesaikan isu ini. Terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua
Sila Hulu Langat.
Tuan Mohd Sany bin Hamzan - Hulu Langat
Terima kasih Timbalan Menteri.
Timbalan Menteri, tadi. Pagi tadi sahur apa? Baru-baru ini viral, dia mengemis, dia dapat
Tuan Mohd Sany bin Hamzan - Hulu Langat
peruntukan ataupun dia dapat bantuan daripada JKM. Yang viral baru-baru ini, kemudian dia boleh pakai kereta X70 lah. Nanti sebelah sana marah pula tak cakap bahasa Melayu.
X70. Jadi, kita nak tahu apa tindakan daripada pihak kementerian dan juga pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat tentang anasir-anasir yang berlaku sebegini? Mengemis, dapat bantuan, boleh pakai X70. Terima kasih, Tan Sri Speaker.
Tuan Yang di-Pertua
Sila Menteri.
Datuk Seri Dr. Noraini binti Ahmad
Terima kasih atas soalan tambahan Yang Berhormat Hulu Langat. Seperti dalam jawapan asal, di bawah KPWKM ni ada Akta Orang-orang Papa 1977 dan di bawah akta ini, diperuntukkan tindakan untuk mengambil mereka yang terlibat dengan aktiviti mengemis ini dimasukkan di dalam rumah kebajikan bagi tujuan pemulihan.
Tuan Abdul Latiff bin Abdul Rahman - Kuala Krai
[Berdiri]
Datuk Seri Dr. Noraini binti Ahmad
Dan berdasarkan siasatan, betul tadi Yang Berhormat menyatakan bahawa yang di-viral-kan itu ada menerima— adalah penerima bantuan elaun pekerja orang kurang upaya yang menerima RM450. Ada beberapa tindakan telah diambil tindakan seperti telah beri amaran, melengkapkan surat aku janji sebagai jaminan untuk tidak mengemis dan bantuan diberhentikan memandangkan pendapatan beliau telah melebihi. Dia diberhentikan pada bulan Mac 2024. Dan siasatan lanjut juga mendapati bahawa beliau kini bekerja di sebuah syarikat bas sebagai penyelia shift dengan anggaran pendapatan RM2,000 sebulan.
Tan Sri Yang di-Pertua, sebab itulah individu ini tidak boleh menerima bantuan kebajikan daripada JKM lagi. Untuk makluman Dewan juga, Akta Orang-orang Papa 1977 tidak memperuntukkan hukuman berbentuk punitive. Terima kasih banyak.
Tuan Yang di-Pertua
Baik. Sila.
Tuan Abdul Latiff bin Abdul Rahman - Kuala Krai
Terima kasih Tan Sri Yang di-Pertua. Yang Berhormat Timbalan Menteri, sindiket peralat OKU, termasuk kanak- kanak dan orang-orang lemah sering menjadi mangsa eksploitasi. Perlukan operasi untuk menyelamatkan mereka dan perlukan bantuan serta sokongan kepada mereka termasuk bantuan psychosocial dan sebagainya. Dalam jawapan Timbalan Menteri tadi berkaitan dengan Akta Orang-orang Papa tidak mempunyai peruntukan yang disebut tadi untuk menghukum mana-mana orang yang mengemis dan mengambil kesempatan di atas kemurahan hati rakyat Malaysia.
Jadi, soalan saya ialah apakah perancangan pihak kementerian untuk mengatasi masalah ini. Terima kasih Tan Sri Yang di-Pertua.
Tuan Yang di-Pertua
Sila Menteri.
Datuk Seri Dr. Noraini binti Ahmad
Terima kasih Yang Berhormat Kuala Krai di atas soalan tambahan itu. Tapi betul, akta ini seperti yang saya maklumkan di dalam soalan tambahan sebelum ini, tidak ada peruntukan berbentuk punitive sebab asas akta itu adalah berprinsipkan kebajikan dan dalam konteks kebajikan pula, objektif adalah untuk memulihkan seseorang yang berada dalam kesukaran agar boleh membantu kembali berdikari. Sebab itulah, di kementerian ini sedang dilaksanakan kajian semakan semula Akta Orang-orang Papa 1977.
Untuk makluman Dewan juga, kajian ini dilaksanakan selama 21 bulan dan insya- Allah akan siap pertengahan tahun dan final dia akan dibentangkan kepada kementerian.
Skop kajian pula adalah mengenal pasti peruntukan sedia ada, membuat kajian perbandingan antara— mengenai akta berkenaan, gelandangan, pengemisan dan miskin bandar di negara-negara lain, mengadakan sesi libat urus dan juga konsultasi dan juga membantu kementerian dalam penyediaan regulatory impact analysis dan menghasilkan — insya-Allah akan menghasilkan satu syor, sama ada terdapat keperluan penggubalan akta baharu dan mengenal pasti peranan kementerian dan objektifnya adalah untuk menyediakan cadangan kepada kerajaan mengenai kandungan, pendekatan dan skop rang undang-undang dan pelan tindakan ke arah inisiatif pengendalian isu gelandangan, pengemisan dan kemiskinan bandar. Terima kasih Tan Sri Yang di-Pertua.
Tuan Yang di-Pertua
Baik. Seterusnya saya menjemput Tuan Haji Muhammad Islahuddin bin Abas, Mersing.
Tuan Haji Muhammad Islahuddin bin Abas - Mersing
Terima kasih Tan Sri Yang di-Pertua. Soalan saya nombor enam.
6. Tuan Haji Muhammad Islahuddin bin Abas [Mersing] minta Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air menyatakan sejauh manakah keberkesanan Program Tarif Elektrik Hijau dalam menawarkan bekalan elektrik hijau (GET) daripada sumber tenaga boleh baharu kepada pengguna elektrik.
Tuan Yang di-Pertua
Sila Menteri.
Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air - Tuan Haji Akmal Nasrullah bin Mohd Nasir
Terima kasih Tan Sri Speaker. Terima kasih Yang Berhormat Mersing. Selamat menyambut Ramadan. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Program Tenaga Elektrik Hijau ataupun dikenali sebagai Green Electricity Tariff (GET) merupakan satu inisiatif strategi kerajaan yang menawarkan bekalan elektrik daripada sumber tenaga boleh baharu (TBB) kepada pengguna elektrik yang berhasrat untuk mengurangkan jejak karbon mereka.
Sejak diperkenalkan pada tahun 2021, Program GET telah berjaya membekalkan secara kumulatif iaitu secara keseluruhan, sebanyak 6,762 gigawatt jam bekalan elektrik hijau kepada 2,461 pengguna dalam pelbagai kategori seperti berikut:
(i) domestik – 1.5 gigawatt jam untuk seramai 236 pengguna;
(ii) komersial – 2,200 gigawatt jam iaitu untuk 2,106 pengguna;
(iii) industri – 4,558 gigawatt jam untuk 118 pengguna; dan
(iv) lain-lain – 0.023 gigawatt jam untuk dua pengguna.
Berdasarkan kepada sambutan baik dan jumlah langganan yang telah diterima, program GET ini telah berjaya dan berkesan dalam membantu 2,224 pengguna komersial dan industri yang terdiri daripada syarikat korporat memenuhi komitmen environmental, social and corporate governance (ESG) masing-masing iaitu dengan pengurangan pelepasan gas rumah kaca (GHG) melalui penggunaan tenaga elektrik hijau. Sekian, terima kasih Tan Sri Yang di-Pertua.
Tuan Yang di-Pertua
Sila, Mersing.
Tuan Haji Muhammad Islahuddin bin Abas - Mersing
Terima kasih Tan Sri Yang di-Pertua. Terima kasih Yang Berhormat Timbalan Menteri. Saya ada dua soalan tambahan. Yang pertama, sejauh manakah impak peningkatan tarif premium baharu bagi Program Tarif Elektrik Hijau (GET) sebanyak 21 sen per kilowatt jam sejak 1 Ogos 2023 iaitu peningkatan hampir enam kali ganda berbanding 3.7 sen per kilowatt jam sebelum ini. Adakah kerajaan berhasrat untuk meneliti semula kadar premium yang ditetapkan dan kaedah tawaran GET yang sedia ada?
Tuan Haji Muhammad Islahuddin bin Abas - Mersing
Soalan kedua saya, apakah perancangan kementerian untuk meningkatkan prestasi amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) mengambil kira kesedaran dan tahap pemahaman terhadap DSG yang masih rendah dalam kalangan syarikat dalam PMKS. Ini memandangkan pelaksanaan dan pelaporan amalan ESG oleh syarikat di Malaysia buat masa ini adalah bersifat sukarela. Terima kasih, Tan Sri.
Tuan Haji Akmal Nasrullah bin Mohd Nasir
Terima kasih. Terima kasih kepada Yang Berhormat. Bagi persoalan yang pertama, ketika GET ini diperkenalkan pada tahun 2021 yang mana penggunaannya pada tahun 2022 hasrat kerajaan ketika itu adalah untuk sebagai pemulalah menggalakkan, maka jumlah yang disebut sebagai premium tadi memang dianggap lebih rendah berbanding dengan sebab kerana tidak dikira dari segi perbandingan yang kita perlu bayar ketika itulah.
Tuan Haji Akmal Nasrullah bin Mohd Nasir
[Timbalan Yang di-Pertua (Puan Alice Lau Kiong Yieng) **mempengerusikan Mesyuarat****] Tetapi masuk pada tahun 2023, sepertimana Yang Berhormat sebutkan tadi premium itu kembali pada paras normal yang kita hendak tetapkan iaitu jumlah premium berbanding dengan tarif elektrik yang biasa. Keadaan itu berlaku adalah untuk pertama, kita kena akui bahawa renewal energy ini tenaga boleh diperbaharui dianggap sebagai tenaga premium dan yang kedua dari segi untuk mengekalkan sistem tenaga yang kita ada pada ketika inilah.
Jadi sebab itu untuk tahun 2023 memang berlaku lebihan seperti permintaan tetapi penggunaan itu lebih kurang daripada permintaan yang kita jangkakan. Maka sebab itu pada tahun lepas kerajaan juga memperkenalkan satu kaedah yang dipanggil sebagai MGATS iaitu Malaysia Green Attribute Tracking System maksudnya yang lebihan daripada tak ada taker, tidak ada yang diambil tahun lepas itu dilelongkan ataupun di- bidding-kan pada permintaan yang seterusnya.
Maka sebab itu kita cuba mencapai penggunaan yang sebaik mungkinlah untuk kegunaan REE tadi. Manakala persoalan yang kedua berkaitan dengan SDG tadi, saya rasa lebih terkait dengan industri secara menyeluruh yang mana lebih rapat ataupun lebih berkait untuk di bidang ataupun sektor ekonomi. Terima kasih, Puan Yang di-Pertua.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Ayer Hitam.
Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong - Ayer Hitam
Terima kasih, Yang Berhormat Timbalan Menteri. Saya menyokong bahawa GET itu satu inisiatif baik oleh kerajaan dan soalan saya penjanaan bekalan elektrik hijau adalah suatu perkara yang sangat penting.
Saya ingin bertanya kementerian kenapa ada siling untuk ditentukan bagi rumah kediaman dan juga mana-mana pemohon yang hendak memohon untuk mendapatkan untuk memasang solar panel, itu pertama.
Kedua, tidakkah kementerian melihat apabila dapat kita jimatkan atau menjana lebih banyak tenaga bekalan tenaga hijau, kita boleh jual kepada Singapura seperti mana yang dihajatkan oleh kerajaan seperti Sarawak dan juga ada IPP yang hendak jual kepada Singapura dan ini akan menguntungkan negara. Apakah pendirian kementerian tentang ini dan kenapa tidak GET itu kita buka supaya kita dapat jana lebih banyak dan ini kelebihan yang ada pada Malaysia. Terima kasih.
Tuan Haji Akmal Nasrullah bin Mohd Nasir
Terima kasih, Puan Yang di- Pertua. Terima kasih kepada Ayer Hitam. Untuk soalan pertama, mengapa ditetapkan mungkin dimaksudkan tadi kuota ataupun limit yang perlu dipatuhi oleh mereka yang berminat untuk memasang solar.
Pertama kalau kita lihat daripada sistem bekalan tenaga itu sendiri. Ketika ini tenaga itu dijana melalui pelbagai kaedah yang lain bukan hanya melalui REE sebagai contoh kita punya sistem penjanaan, generation power yang masih ada, yang masih kita bergantung dalam sektor tenaga ini. Maka sebab itu, apabila kerajaan membenarkan ataupun membuka ruang supaya tenaga boleh diperbaharui ini dipasang di peringkat individu ataupun di kediaman sebagai contoh, ini memerlukan pihak daripada sistem bekalan ini memastikan campuran antara bekalan sedia ada ini dengan bekalan daripada tenaga boleh diperbaharui diambil kira.
Kerana kita tahu juga, kekangan yang kita hadapi dalam soal menguruskan tenaga boleh diperbaharui. Sebagai contoh, kestabilannya itu mungkin kurang sedikit.
Sebagai contoh tenaga solar penjanaan itu bukan berlaku sepanjang 24 jam berbanding dengan stesen penjanaan yang sedia ada ketika ini. Maka kerajaan perlu membuat kaedah berperingkat supaya tidak berlaku kacau ganggu ataupun mengganggu kestabilan bekalan tenaga yang ada pada hari ini.
Yang kedua untuk soalan Yang Berhormat tadi, sebab itu dari segi kelebihan negara kita ini memang tahun lepas kita telah lancarkan Neta. Maka kerajaan sebenarnya telah meletakkan sasaran sebagai contoh campuran tenaga untuk tenaga boleh diperbaharui ini kita hendak tingkatkan sehingga ke tahap 70 peratus menjelang tahun 2050. Pendirian ketika ini untuk kerajaan adalah segala tenaga yang dihasilkan tenaga
Tuan Haji Akmal Nasrullah bin Mohd Nasir
termasuk tenaga boleh diperbaharui ini adalah untuk kegunaan negara kita dahulu sebelum untuk ditawarkan ke negara yang lain.
Jadi perancangan itu memang ada seperti contoh yang disebut yang diumumkan oleh Neta untuk energy exchange, dengan izin Puan Yang di-Pertua. Maka perkara itu sudah ada perancangan cuma kita juga kena melalui prosesnya supaya tidak berlaku sebarang gangguan kestabilan tenaga dalam negara tetapi pada masa yang sama juga dari segi kemampuan dan kemampanan bekalan tenaga untuk negara kita ini. Terima kasih, Puan Yang di-Pertua.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Puan Rodziah binti Ismail, Ampang.
Puan Hajah Rodziah binti Ismail - Ampang
Bulan Ramadan selain berpuasa kita bertawajuh, Yang Berhormat Puan Timbalan Speaker soalan saya nombor tujuh.
7. Puan Rodziah binti Ismail [Ampang] minta Menteri Perpaduan Negara menyatakan dasar dan mekanisme yang ditetapkan dan diguna pakai bagi mengimbangi agenda dan tuntutan dua objektif yakni kesepaduan sosial dan integrasi nasional ketimbang pewujudan lebih banyak Tabika Perpaduan, satu program pendidikan awal kanak-kanak di kawasan bandar dan pinggir bandar.
Timbalan Menteri Perpaduan Negara - Puan Saraswathy a/p Kandasami
Puan Yang di-Pertua, Tabika Perpaduan mula diperkenalkan pada tahun 1976 di bawah Rancangan Perhubungan Masyarakat Lembaga Perpaduan Negara, Jabatan Perdana Menteri. Pada ketika itu, Lembaga Perpaduan Negara telah dipertanggungjawabkan ke atas semua perkara berhubung dengan soal-soal perhubungan kaum dan perpaduan negara.
Sebanyak 25 buah kelas Tabika Perpaduan diwujudkan sebagai projek rintis di pinggir bandar dan bandar. Matlamat utama penubuhannya pada ketika itu adalah untuk memupuk semangat muhibah dan perpaduan antara kaum. Kerajaan sentiasa komited dalam memastikan tiada sebarang keciciran bagi kanak-kanak berumur empat hingga enam tahun untuk menerima pendidikan separa formal iaitu pendidikan awal kanak-kanak.
Sehingga kini Kementerian Perpaduan Negara (KPN) mempunyai sebanyak 1,781 buah Tabika Perpaduan di seluruh negara yang memberikan didikan awal kepada lebih daripada 37 orang. Seiring dengan keperluan semasa, konsep Tabika Perpaduan telah dimantapkan dengan memberi tumpuan kepada penghayatan pendidikan Rukun Negara dan nilai-nilai murni bagi memupuk semangat perpaduan dan cintakan negara dalam kalangan kanak-kanak seawal usia empat hingga enam tahun.
Perkara ini adalah selari dengan penggubalan Dasar Perpaduan Negara yang menggariskan tiga teras utama perpaduan iaitu melahirkan masyarakat yang patriotik dan cintakan negara, membentuk identiti nasional dan memperkukuhkan ekosistem perpaduan. Justeru, objektif kementerian dalam menyediakan perkhidmatan Tabika Perpaduan adalah sebagaimana yang digariskan dalam Pelan Pendidikan Awal Kanak- kanak Tabika Perpaduan 2021 hingga 2030 seperti berikut:
(i) membentuk murid yang mempunyai semangat patriotisme dan semangat perpaduan iaitu murid dapat menunjukkan semangat cintakan negara dan murid dapat meraikan kepelbagaian kaum dan etnik yang ada di negara kita; dan
(ii) membentuk kemenjadian murid dan memperkembangkan konsep kendiri iaitu murid yang berpotensi untuk berfikir secara kritis dan kreatif serta responsif dalam sesi pembelajaran dan murid yang menampilkan peribadi dan perwatakan positif.
Timbalan Menteri Perpaduan Negara - Puan Saraswathy a/p Kandasami
Dalam memperkasakan peranan tabika perpaduan sebagai tapak integrasi, modul pendidikan Rukun Negara dan nilai-nilai perpaduan diterapkan dalam setiap program pengajaran dan pembelajaran iaitu PdP.
Timbalan Menteri Perpaduan Negara - Puan Saraswathy a/p Kandasami
Untuk membentuk murid yang mempunyai semangat cintakan negara dan menjiwai nilai-nilai murni dan dijadikan sebagai pembudayaan dalam kehidupan seharian.
Pihak KPN sedang melaksanakan kajian keberkesanan pelaksanaan program tabika dan permintaan penduduk terhadap perkhidmatan tabika perpaduan. Ini bagi memastikan penubuhan pengoperasian tabika adalah mengikut keperluan dan permintaan penduduk setempat. Sekian, terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Ampang.
Puan Hajah Rodziah binti Ismail - Ampang
Terima kasih Timbalan Menteri.
Tapi baru-baru ini kita dengar bahawa KPM ataupun Menteri Pendidikan telah pun mengumumkan pada 6 Mac yang lepas bahawa beliau akan menambah lagi kelas-kelas prasekolah yang kita tengok sekarang ini ada 9,909 di bawah KPM dan akan ditambah dan dikatakan tahun hadapan akan dimulakan program itu sepenuhnya.
Jadi soalan saya kepada Timbalan Menteri, apakah tabika perpaduan khususnya di kawasan bandar dan luar bandar yang sekarang ini kita lihat ada peranan dan objektif tersendiri. Apakah ia akan dikecilkan skopnya ataupun kemungkinan masa depan tadika perpaduan tidak akan lagi diwujudkan? Jadi itu yang pertama.
Yang keduanya, kalau ia dimansuhkan ataupun tidak diwujudkan, apakah Pelan Pendidikan Awal Kanak-kanak Tabika Perpaduan 2021-2030 akan juga dimansuhkan sekali gus? Terima kasih.
Puan Saraswathy a/p Kandasami
Di kementerian, kami tidak berasa bahawa cadangan KPM untuk mewujudkan kelas prasekolah di semua institusi KPM termasuk kolej vokasional dan institut pendidikan guru (IPG) akan mempunyai sebarang kesan negatif terhadap tabika perpaduan sebab pertamanya, tabika perpaduan ditubuhkan di kawasan setempat di tempat komuniti dan juga di kawasan rukun tetangga. Manakala prasekolah di bawah kementerian KPM, ditubuhkan di sekolah.
Jadi permintaan, memandangkan bertambahnya penduduk di bandar dan di pinggir bandar semakin bertambah dengan adanya pengwujudan taman baru, rumah PR1MA baru dan rumah pangsa yang baru, permintaan setempat untuk menubuhkan tabika perpaduan masih akan berterusan. Itu adalah pandangan dan pendapat di peringkat kementerian.
Dan keduanya, dari segi data yang kami punyai iaitu kalau kita merujuk kepada Akta Pendidikan 1996, penubuhan tabika di setiap sekolah telah pun menjadi satu yang telah diperkasakan. Tetapi kalau kita meneliti data tahun 1997 hingga 2021, terdapat penambahan tabika sebanyak 700. Jadi ini menunjukkan bahawa walaupun ada usaha di pihak Kementerian Pendidikan untuk menubuhkan tabika di semua institusi Kementerian Pendidikan tetapi permintaan untuk tabika perpaduan akan masih wujud dan tabika perpaduan akan masih menjadi relevan. Oleh yang demikian, tidak wujudnya satu keadaan di mana Pelan Pendidikan Awal Kanak-kanak Tabika Perpaduan 2021 hingga 2030 perlu dimansuhkan.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Kapar.
Dr. Hajah Halimah Ali - Kapar
Terima kasih Timbalan Speaker. Ramadan Kareem kepada semua umat Islam. Memandangkan agenda perpaduan nasional adalah penting dan utama di dalam negara majmuk seperti negara Malaysia, menyedari bahawa program pendidikan awal kerajaan, khususnya tabika perpaduan adalah satu usaha baik, Kapar mahu tahu, adakah kerajaan bercadang untuk mewujudkan sekurang-kurangnya satu tabika perpaduan di semua kawasan rukun tetangga?
Kita melihatkan fakta. Sehingga Disember 2022 ada 8,348 kawasan rukun tetangga di seluruh negara. Tadi Timbalan Menteri sebut 1,781 sahaja tabika perpaduan.
Besar discrepancy. Boleh ke tak kita buat setiap kawasan rukun tetangga?
Dr. Hajah Halimah Ali - Kapar
Kedua, berapakah tabika perpaduan bakal diwujudkan di Kapar kerana Kapar ini ada 30 peratus lebih kurang non-Malays dan 70 peratus Malay. So, dia punya ratio itu adalah melayakkan Kapar dapat banyak lagi tabika perpaduan. Terima kasih Speaker.
Puan Saraswathy a/p Kandasami
Tuan Yang di-Pertua:, penubuhan tabika perpaduan adalah berdasarkan kepada permintaan. Walaupun ada lebih daripada 8,000 kawasan Rukun Tetangga, kalau permintaannya adalah kurang di sesuatu kawasan kerana sebagai contoh kalau ada sekolah yang boleh menampung semua murid di kawasan itu dalam prasekolah yang telah diwujudkan di sekolah, maka permintaan tidak akan ada.
Jadi kita perlu juga meneliti permintaan dan juga adakah cukupnya murid untuk memulakan sesuatu tabika perpaduan. Jika adanya apa-apa permintaan daripada Kapar untuk menubuhkan satu tabika perpaduan di mana-mana lokasi, ia akan diteliti. Dan sekiranya ia boleh ditubuhkan, kita akan ambil langkah-langkah untuk menubuhkan.
Berapakah sebenarnya tabika perpaduan di Kapar. Saya tidak mempunyai angka bersama saya pada masa sekarang. Saya akan boleh berikan kepada Yang Berhormat selepas daripada ini tetapi Kementerian Perpaduan memang komited untuk memastikan sekiranya ada permintaan dan ada juga murid yang ingin mengikuti prasekolah tabika perpaduan, kita akan mengambil langkah-langkah yang sewajarnya.
Sebelum saya mengakhiri jawapan saya Yang Berhormat, sebelum ini ada satu persoalan daripada Jelutong yang tidak ada di sini berkenaan dengan MITRA. Saya ingin memperjelaskan persepsi, saya ingin menjelaskan...
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Yang Berhormat, ini sesi soal jawab soalan yang dibentangkan di Dewan pada hari ini.
Puan Saraswathy a/p Kandasami
Sebab ia telah menyentuh kementerian dan sebagai Timbalan Menteri ingin saja memperjelaskan satu persepsi salah yang boleh diwujudkan.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Yang Berhormat boleh bagi jawapan bertulis nanti.
Puan Saraswathy a/p Kandasami
Ha, saya akan memberi jawapan bertulis.
Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Saya jemput Dato’ Sri Saifuddin Abdulah, Indera Mahkota.
8. Dato' Sri Saifuddin bin Abdullah [Indera Mahkota] minta Menteri Pendidikan Tinggi menyatakan apakah pendekatan inovatif kementerian untuk memperkukuh keupayaan institusi pendidikan tinggi sekali gus memacu kecemerlangan bidang penyelidikan melalui perkongsian dan kerjasama strategik di dalam dan luar negara.
Menteri Pendidikan Tinggi - Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry bin Abd Kadir
Tuan
Yang di-Pertua
, izinkan saya untuk menjawab soalan Indera Mahkota. Kecemerlangan IPT diukur melebihi dari indikator kesarjanaan akademik seperti penerbitan dan persidangan serta penarafan. Kecemerlangan IPT mestilah memberi impak kepada industri, kerajaan dan masyarakat.
IPT mengumpulkan brain of nation dengan izin yang meletakkan permasalahan negara dan dunia sebagai teras utama dalam menentukan hala tuju penyelidikan. KPT menggerakkan inisiatif kecemerlangan yang inovatif berdasarkan kerangka Quadra Helix iaitu gabungan kerjasama strategik empat penjuru, akademik, industri, kerajaan, masyarakat meliputi pemegang taruh dalam dan luar negara.
Kecemerlangan IPT memerlukan keempat-empat pemegang taruh ini untuk bertindak bersama dari peringkat permulaan hinggalah ke peringkat akhir. KPT menyokong usaha-usaha memperkasa program penyelidikan kolaboratif atau collaborative research dengan izin di dalam dan luar negara. Sokongan KPT dapat dilihat melalui program penyelidikan padanan antarabangsa atau Malaysian Partnership and
Yang di-Pertua
Alliances in Research (MyPAiR) yang bertujuan mempertingkat kerjasama penyelidikan antara IPT dengan industri serta agensi tempatan mahupun antarabangsa dalam bidang strategik.
Melalui MyPAiR, perkongsian dan kerjasama penyelidikan tidak terhad kepada perkongsian kepakaran tetapi turut merangkumi konteks yang lebih luas seperti perkongsian infrastruktur dan peralatan. Manakala dalam bidang-bidang yang berkaitan dengan penyelidikan ini, ia termasuklah di dalam bidang tenaga, perubatan dan penjagaan kesihatan, teknologi dan sistem pintar, smart technology dan sistem next generation engineering manufacturing dengan izin dan sebagainya.
Yang di-Pertua
Dalam konteks kerjasama penyelidikan yang melibatkan negara luar, ia termasuklah penyelidikan yang diadakan dengan negara-negara seperti United Kingdom, Jepun, Perancis dan Sepanyol melalui Natural Environment Research Council, dengan izin, Medical Research Council, Science and Technology Facilities Council, British Council dan lain-lain. Projek kerjasama ini diuruskan oleh JPT dan ditawarkan untuk kajian-kajian merentasi sempadan.
Pada masa ini, KPT juga telah menyediakan dana pra pengkomersialan yang dinamakan geran Malaysia Laboratories for Academia-Business Collaboration (MyLAB) yang dibuka pada setiap tahun. Geran ini juga bertujuan untuk menghubungkan jurang pengkomersialan produk penyelidikan dengan menyediakan dana pra pengkomersialan melibatkan kerjasama akademia dan industri.
Jadi, hasil penyelidikan yang dijalankan melalui geran ini adalah merupakan produk teknologi dan perkhidmatan yang dibangunkan yang sedia diterima pakai pada skala pra pengkomersialan dan dapat dikomersialkan oleh pihak industri selepas projek tamat melalui perjanjian pelesenan di antara universiti dengan pihak industri.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Indera Mahkota.
Dato' Sri Saifuddin bin Abdullah - Indera Mahkota
Terima kasih, Yang Berhormat. Sebagai Menteri KPT yang baru, macam pulang ke gaganglah. Balik ke universiti. Saya paling suka jawapan itu yang ayat yang awal-awal itu. Ayat yang berikut itu, itu proses.
Ada dua bahagian soalan tambahan saya. Yang pertama, setengah-setengah negara maju, dia terkenal dengan universiti dan penyelidikan tertentu. Misalnya Jerman, University of Berlin, kemudian engineering. Kita nak jadi macam mana? Universiti kita mahu terkenal dengan apa dan penyelidikan dalam bidang apa? Itu satu.
Yang kedua, dalam konteks umat Islam, kita tertinggal, terkebelakang dalam bidang-bidang tertentu. Human sciences, sebagai contoh, atau ekonomi, iaitu bidang Yang Berhormat. Dalam segi Islamization, de-westernization and integration of knowledge, apa perancangan KPT di bawah kepimpinan Yang Berhormat dari segi research-nya? Terima kasih.
Dato' Seri Diraja Dr. Zambry bin Abd Kadir
Soalan yang kedua itu perlukan satu special lecture, dengan izin. Ya, terima kasih.
Saya setuju dengan apa yang dikemukakan bagi soalan yang pertama oleh Indera Mahkota tadi. Malah inilah perkara yang sedang kita bincangkan pendekatan baru supaya setiap universiti menekankan aspek apa yang dipanggil niche-nya iaitu kekuatan-kekuatan yang ada kepadanya.
Sebagai contoh, saya ambil dalam konteks Universiti Sains Malaysia yang kita tahu bahawa mereka mempunyai kekuatan dalam bidang sustainability dan ingin saya sebutkan di sini bahawa USM adalah merupakan antara universiti contoh yang mempunyai kepakaran dalam bidang SDG-nya yang sekarang ini diletakkan dalam impak ranking― dia ada penilaian baru yang diberikan. USM berada pada taraf nombor empat di dunia pada hari ini dalam bidang SDG-nya. Dalam erti kata yang lain, bagi menjawab soalan pertama tadi, inilah penekanan-penekanan yang akan kita berikan mengikut fokus kekuatan yang ada kepada setiap institusi pengajian tinggi kita di Malaysia.
Dato' Seri Diraja Dr. Zambry bin Abd Kadir
Bagi menjawab soalan yang kedua berkaitan dengan soalan yang saya dan Indera Mahkota yang selama ini bicarakan, soal Islamisasi ilmu dari segi bagaimana kita nak melakukan penyelidikan-penyelidikan yang lebih terangkum sifatnya dalam bidang- bidang baru khususnya. Kalau dulu, mungkin kita berbicara tentang Islamisasi ilmu ataupun Islamization of knowledge hanya dalam bidang-bidang yang melibatkan human sciences. Tapi, pada hari ini, keterangkumannya itu sudah pun melangkaui dalam konteks bidang-bidang social sciences.
Maka beberapa universiti telah pun melakukan penyelidikan-penyelidikan yang ada kaitan dalam konteks Islamization of knowledge ini termasuklah dalam disiplin-disiplin baru. Antara universiti-universiti, seperti mana yang kita ketahui, universiti yang sedia ada di mana Indera Mahkota pernah berada di situ iaitu di UIA sendiri. USIM juga adalah merupakan salah satu universiti yang juga melakukan perkara yang sama. UniSZA adalah salah satu lagi universiti yang melakukan pendekatan yang sama kerana struktur universiti-universiti yang dibina ini banyak mempunyai kaitannya dalam konteks Islamization of knowledge.
Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Bukit Bendera.
Puan Syerleena binti Abdul Rashid - Bukit Bendera
Terima kasih Puan Speaker dan terima kasih Yang Berhormat Menteri. Saya selaku graduate daripada Universiti Sains Malaysia cukup bangga dengar kata-kata pujian Yang Berhormat.
Memandangkan peranan penting terhadap penyelidikan dan juga pembangunan dalam memacu inovasi serta pertumbuhan ekonomi, malah memastikan kita mempunyai sumber yang diperlukan untuk menyumbang kepada kemajuan teknologi Malaysia adalah amat-amat penting kalau berbandingkan sebelum ini.
Jadi, saya nak kongsi juga iaitu menurut Financial Times, Malaysia kini menerajui dunia dalam import cip Amerika Syarikat yang mempamerkan potensi besar negara kita.
Jadi, soalan tambahan saya. Kita tak boleh nafikan bahawa trend global semasa lebih ke arah melabur dalam penyelidikan dan juga pembangunan untuk daya saing jangka masa panjang. Jadi, bagaimanakah kerajaan ingin merancangkan supaya dapat mengutamakan pembiayaan bagi aktiviti-aktiviti penyelidikan di universiti kerajaan bagi memastikan mereka kekal di barisan hadapan dalam inovasi dan juga menyumbangkan secara signifikan dalam matlamat pembangunan negara Malaysia? Terima kasih.
Dato' Seri Diraja Dr. Zambry bin Abd Kadir
Saya sebutkan bahawa universiti adalah brain of nation dan ia merupakan juga universiti adalah sebagai hub of knowledge creation. Ini tidak boleh kita nafikan bahawa di situlah berlakunya segala bentuk penyelidikan dan inovasi yang hendak diterjemahkan dalam masyarakat kita.
Sebentar tadi saya menyebutkan tentang konsep quadra helix iaitu yang melibatkan juga industri, kerajaan dan termasuk juga universiti yang sangat penting dan selain itu ialah masyarakat. Jadi, perkara-perkara ini ialah sangat penting di mana keterangkuman dalam bidang keempat-empat sektor ini adalah sangat penting untuk kita mara ke hadapan dengan memperkenalkan pelbagai bentuk kajian-kajian terkini yang diperlukan oleh masyarakat dan juga industri yang berkenaan.
Sebagai contoh, saya nak sebutkan di sini, ada lima jenis geran penyelidikan yang telah pun diumumkan oleh kerajaan. Ini termasuklah― secara keseluruhannya― Dana Penyelidikan Fundamental iaitu sebanyak RM200 juta; Dana Pengukuhan dan Pemerkasaan Universiti Penyelidikan Niche (RU), RM180 juta; dana suntikan pemerkasaan universiti bidang niche Pusat Kecemerlangan Tinggi sebanyak RM26 juta; Dana Padanan Penyelidikan (MYPAIR) sebanyak RM5 juta; dan juga apa yang telah pun diumumkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri pada tahun lalu, iaitu apa yang disebut sebagai translational research sebanyak RM50 juta.
Kesemuanya ini hampir keseluruhannya ini tertumpu pada universiti untuk kita bangunkan kecemerlangan di universiti-universiti kita yang mempunyai kekuatan- kekuatan tersendiri dalam bidang-bidang mereka.
Dato' Seri Diraja Dr. Zambry bin Abd Kadir
Selalu saya sebutkan berkali-kali di mana ucapan-ucapan saya pun, saya kata kita kena ada self-confidence, kita perlu ada keyakinan kepada institusi-institusi penyelidikan tinggi kita dan juga institusi pendidikan tinggi kita. Kerana, secara perbandingan, saya melihat sendiri bagaimana kehebatan profesor-profesor kita, tenaga- tenaga penyelidik kita yang ada dalam negara kita ini. Lantaran itulah kerajaan mengambil pendekatan ini untuk melaksanakan agenda besar ini. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Dato' Seri Amirudin bin Shari, Gombak.
Dato’ Seri Amirudin bin Shari - Gombak
Terima kasih Timbalan Speaker, soalan saya yang kesembilan.
9. Dato' Seri Amirudin bin Shari [Gombak] minta Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam menyatakan pendirian kerajaan berkenaan Laporan Penilaian Keenam oleh Intergovernmental Panel on Climate Change pada bulan Mac 2023. Apakah langkah adaptasi yang telah diambil dan sedang dirancang oleh kerajaan untuk bersedia menangani risiko perubahan iklim yang mendadak.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam - Tuan Nik Nazmi bin Nik Ahmad
Terima kasih Yang Berhormat Gombak. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, kerajaan bersetuju dan memperakui dapatan saintifik berkaitan impak dan risiko perubahan iklim yang terkandung di dalam Laporan Penilaian Keenam dengan izin, Sixth Assessment Report (AR6) oleh Intergovernmental Panel on Climate Change (IPCC).
Pendirian kerajaan mengenai perkara ini adalah selari dengan keputusan Persidangan Ke-28 negara ahli kepada Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu UNFCCC-COP28 yang turut memperakui hasil laporan IPCC AR6. Antara dapatan laporan ini bagi impak dan risiko perubahan iklim kepada negara-negara membangun khususnya rantau Asia Tenggara adalah melibatkan peningkatan banjir, kemarau, peningkatan aras laut dan juga kehilangan biodiversiti.
Berdasarkan dapatan laporan tersebut dan laporan IPCC sebelum ini, kerajaan telah dan sedang melaksanakan langkah-langkah adaptasi jangka pendek dan jangka panjang sebagai persediaan bagi menghadapi kesan perubahan iklim seperti kenaikan paras laut dan juga cuaca ekstrem. Langkah-langkah ini termasuklah menggunakan dengan izin nature-based solution seperti penanaman pokok bakau dan menghijaukan kawasan bandar serta membina tembok laut di persisiran pantai.
Untuk tahun 2021 sehingga 2025, kementerian menyasarkan kawasan seluas 250 hektar kawasan untuk ditanam dengan pokok bakau dan spesies-spesies yang sesuai di persisiran pantai di seluruh negara. Kerajaan turut juga menaikkan tahap perlindungan dengan izin Average Recurrence Interval (ARI) struktur mitigasi banjir. Kalau sebelum ini 50 atau 100 tahun kita berusaha untuk menaikkan kepada 200 tahun seperti yang telah dibentangkan dalam Dewan yang mulia ini dan ini melibatkan projek-projek Rancangan Tebatan Banjir dan lembangan sungai yang di bawah kendalian JPS di bawah Kementerian PETRA.
NRES juga dengan kerjasama organisasi antarabangsa dan agensi tempatan, kita sedang membangunkan Pelan Tindakan Adaptasi Kebangsaan (MyNAP) dan ini akan menjadi panduan asas untuk merangka strategik tindakan negara bagi menangani soal perubahan iklim. Bagi memantau keadaan cuaca kering dan panas di negara ini, MET Malaysia sedang melaksanakan inisiatif adaptasi seperti berikut:
(i) pemantauan suhu maksimum harian bagi menentukan status cuaca panas di seluruh negara;
(ii) pelaporan bilangan hari tanpa hujan; dan
(iii) penyediaan maklumat dan ramalan kawasan yang berisiko untuk berlaku kebakaran hutan dan tanah gambut melalui indeks Fire Danger Rating System (FDRS).
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam - Tuan Nik Nazmi bin Nik Ahmad
Kerajaan sentiasa komited dalam usaha mengurangkan kemudahterancaman dan meningkatkan ketahanan terhadap impak perubahan iklim. Kita sentiasa proaktif dan mengambil pendekatan berperingkat ataupun stepwise approach dengan izin, dalam perancangan dan berpanjangan untuk menangani impak perubahan iklim agar keselamatan rakyat terjamin dan kos kehilangan dan kerugian harta benda dapat dikurangkan. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Gombak.
Dato’ Seri Amirudin bin Shari - Gombak
Terima kasih Timbalan Speaker.
Terima kasih Menteri atas jawapan yang telah diberikan. Isi asas kepada laporan IPCC tersebut adalah peningkatan suhu yang sehingga kepada lebih daripada satu ataupun dua darjah celsius berbanding dengan 100 tahun yang lepas. Beberapa kesan yang kita dapat lihat daripada laporan tersebut ialah tentang imigrasi manusia dan juga keterjaminan makanan, impak tentang masalah kesihatan seperti pandemik dan juga bencana seperti banjir dan juga tanah runtuh.
Soalan saya, melihat kepada masalah yang berlaku ini memberi kesan kepada kepelbagaian portfolio ataupun sektor-sektor yang terbabit, bukan hanya melibatkan pengawalan suhu serta kawalan alam sekitar. Apakah platform yang ada di peringkat Kabinet ataupun kerajaan sekarang bagi menangani dan melihat secara menyeluruh supaya kita tidak menangani isu-isu ini dalam silo ataupun secara bersendirian yang tidak dapat menepati kepada semua rangkaian masalah yang dihadapi? Terima kasih Menteri.
Tuan Nik Nazmi bin Nik Ahmad
Terima kasih. Sememangnya untuk kita mengatasi masalah perubahan iklim ini ia memerlukan pendekatan yang menyeluruh dengan izin whole-of-government dan juga whole-of-nation approach. Antara tindakan yang telah diambil ialah kita ada Majlis Tindakan Perubahan Iklim Negara yang merupakan majlis tertinggi yang dipengerusikan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri sendiri dan melibatkan kementerian-kementerian yang berkaitan misalnya PETRA, MOSTI, Kementerian Ekonomi dan di mana Kementerian NRES menjadi sekretariat kepada majlis tersebut.
Tuan Mohd Azizi bin Abu Naim - Gua Musang
[Bangun]
Tuan Rushdan bin Rusmi - Padang Besar
[Bangun]
Tuan Nik Nazmi bin Nik Ahmad
Kita mengambil pendekatan yang mana kita kemudian menyediakan dokumen seperti long-term low emission development strategy
(LT-LEDS) dan juga hala tuju Nationally Determined Contribution untuk kita merangka bagaimana kita berdepan dengan kesan-kesan perubahan iklim.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Gua Musang.
Tuan Mohd Azizi bin Abu Naim - Gua Musang
Terima kasih Timbalan Speaker. Terima kasih Yang Berhormat Menteri. Kita semua memahami dan menghargai bahawa kerajaan sedang dan sentiasa berusaha untuk membangunkan Pelan Adaptasi Kebangsaan berkaitan impak perubahan iklim yang merangkumi pelan tindakan dan strategi jangka panjang serta strategi pembangunan kebangsaan untuk pelbagai sektor.
Soalan tambahan saya, apakah pelan kerajaan dalam memastikan elemen adaptasi perubahan iklim diterapkan dalam dasar pembangunan negara? Terima kasih.
Tuan Nik Nazmi bin Nik Ahmad
Terima kasih. Ya, sememangnya kita tahu bahawa bila kita bercakap tentang soal perubahan iklim, dia ada dua elemen penting.
Pertama ialah mitigasi iaitu untuk kita mengurangkan misalnya pelepasan karbon tetapi kedua ialah kita menyedari bahawa ada had mitigasi yang boleh dibuat maka kita juga perlu adaptasi kepada realiti perubahan iklim dan ini sudah pun berlaku. Kalau kita lihat di persisiran pantai misalnya masalah berlakunya coastal erosion, hakisan di tepian pantai dan lain-lain lagi.
Jadi apa yang kita ambil ialah pertama sekali, kita sedang melakukan semakan kepada Dasar Perubahan Iklim Negara yang sedia ada yang mana kita melihat elemen adaptasi ini akan menjadi satu elemen penting dan apabila kita siap dengan MyNAP ataupun Pelan Tindakan Adaptasi Kebangsaan, kita akan melihat elemen-elemen
Tuan Nik Nazmi bin Nik Ahmad
daripada MyNAP ini kita masukkan di dalam Dasar Perubahan Iklim Negara. Pada masa yang sama, kita dalam proses untuk menyiapkan Rang Undang-undang Perubahan Iklim Negara, kita dalam proses untuk memulakan libat urus dengan kerajaan-kerajaan negeri, di dalam rang undang-undang ini juga elemen adaptasi iklim akan menjadi antara teras utama dalam rang undang-undang ini. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Tuan Roslan bin Hashim, Kulim-Bandar Baharu.
Tuan Roslan bin Hashim - Kulim-Bandar Baharu
Terima kasih kepada Speaker. Selamat berpuasa kepada semua Ahli-ahli Parlimen. Soalan saya nombor 10.
10. Tuan Roslan bin Hashim [Kulim-Bandar Baharu] minta Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi menyatakan:
(a) sejauh manakah usaha pemerkasaan kementerian terhadap sektor francais serta sasaran kerajaan bagi sektor ini pada tahun 2024; dan
(b) apakah bentuk inisiatif pembiayaan dan bantuan yang telah disediakan kepada para usahawan francais khususnya golongan belia dan wanita.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi - Dato’ Ramanan Ramakrishnan
Puan Yang di-Pertua, untuk makluman Ahli Yang Berhormat, bagi tahun 2024, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) telah melaksanakan penyelarasan program-program francais yang dirancang sepanjang tempoh terakhir Rancangan Malaysia Kedua Belas tahun 2024 dan 2025. Melalui PERNAS serta dengan kerjasama Malaysian Franchise Association (MFA), dalam hubungan ini kementerian ini akan melaksanakan sebanyak sembilan program pembangunan dan promosi peringkat domestik yang dijangka akan memberi manfaat kepada hampir 5,000 usahawan.
Selain itu, sebanyak 27 program promosi francais peringkat antarabangsa juga akan dilaksanakan pada 2024. Antara yang akan terlibat adalah 110 jenama. Bagi membantu usahawan francais khususnya golongan belia dan wanita, KUSKOP melalui PERNAS telah melaksanakan program Be Your Own Boss (BYOB) yang diperkenalkan pada tahun 2021 yang merupakan program-program keusahawanan francais yang holistik dan berdaya saing kepada usahawan belia dan wanita bumiputera. BYOB menyediakan sokongan pembiayaan melalui dua program iaitu:
(i) program Young Entrepreneurship Engagement Talent Programme (YOUNITY) dan
(ii) program Successful Women Entrepreneurship Engagement Talent (SWEET).
Bagi tempoh 2021 sehingga Disember 2023, PERNAS telah meluluskan sebanyak 64 permohonan bagi program YOUNITY dengan pembiayaan berjumlah RM21.8 juta dan sebanyak 60 permohonan bagi program SWEET melibatkan pembiayaan berjumlah RM18.6 juta.
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, kerajaan juga telah bersetuju dengan pemusatan ekosistem francais meliputi aspek tadbir urus dan kawal selia industri francais di bawah Akta francais 1998 [Akta 590] diletak di bawah tanggungjawab KUSKOP.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi - Dato’ Ramanan Ramakrishnan
Selari dengan Warta Kerajaan Persekutuan bertarikh 29 Januari 2024 mengenai perkara ini, KUSKOP juga telah mengambil tindakan dalaman bagi menyelaras pemindahan fungsi francais daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) merangkumi perkara-perkara seperti dasar berkaitan francais,
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi - Dato’ Ramanan Ramakrishnan
peruntukan pembangunan dan mengurus pendaftaran dan pematuhan Akta 590 dan aspek perjawatan pegawai. Sekian, terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Yang Berhormat, sekarang tamatlah sesi untuk waktu pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan pada hari ini.
Terima kasih Yang Berhormat.
Tuan Roslan bin Hashim - Kulim-Bandar Baharu
Soalan tambahan tak ada Tuan Speaker?
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Tak ada.
Tuan Roslan bin Hashim - Kulim-Bandar Baharu
Bagilah soalan tambahan, bagi habis.
[Sesi untuk Pertanyaan-pertanyaan bagi Jawab Lisan tamat]
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) - Tuan M. Kulasegaran a/l Murugeson
Tuan Yang di-Pertua, “Mengikut Peraturan Mesyuarat 12(1), saya mohon mencadangkan bahawa Mesyuarat pada hari ini tidak akan ditangguhkan pada jam 1 tengah hari dan akan bersidang secara terus dari Kementerian Kerja Raya di nombor 10 sehingga selesai giliran Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam di nombor 15 seperti dalam susunan giliran Yang Berhormat Menteri-menteri menjawab ke atas perbahasan Usul Menjunjung Kasih Ke atas Titah Diraja yang telah diedarkan dan selepas itu Majlis Mesyuarat akan ditangguhkan sehingga jam 10 pagi hari Rabu, 13 Mac 2024”.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat - Datuk Seri Dr. Noraini binti Ahmad
Puan Yang di-Pertua, saya mohon menyokong.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Ahli-ahli Yang Berhormat, sekarang saya kemukakan masalah kepada Majlis untuk diputuskan.
Masalahnya ialah usul seperti yang dikemukakan tadi hendaklah disetujukan.
[Usul dikemukakan bagi diputuskan; dan disetujukan]
Aturan Urusan Mesyuarat dibaca bagi menyambung semula perbahasan yang ditangguhkan atas masalah; “Bahawa suatu ucapan yang tidak sepertinya dipersembahkan kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang
diPertuan Agong, demikian bunyinya
“Ampun Tuanku, Patik, Tuan Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Dewan Rakyat Malaysia di dalam Persidangan Parlimen, memohon ampun mempersembahkan suatu ucapan yang ikhlas daripada Majlis Dewan Rakyat mengucapkan berbanyak-banyak syukur dan menjunjung kasih Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong semasa membuka Penggal Ketiga, Parlimen Yang Kelima Belas.” [****11 Mac 2024]**
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Saya minta Yang Berhormat Menteri Kerja Raya untuk menjawab.
Menteri Kerja Raya - Dato Sri Alexander Nanta Linggi
Terima kasih Puan Yang di-Pertua. Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan salam sejahtera, salam Malaysia MADANI dan salam hari pertama berpuasa.
Puan Yang di-Pertua, izinkan saya mengucapkan selamat menyambut bulan Ramadan dan selamat menunaikan ibadah puasa kepada seluruh umat Islam bermula pada hari ini, 12 Mac 2024. Semoga terus diberikan kemudahan dan kekuatan untuk menjalani ibadah ini dengan penuh sempurna dan di dalam bulan mulia yang dinanti- nantikan oleh setiap umat Islam.
Saya merafak sembah dan menzahirkan setinggi-tinggi ucapan tahniah atas pelantikan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke-17, Sultan Ibrahim dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah. Saya juga menjunjung kasih ke atas Titah Diraja yang disampaikan sewaktu Ucapan Titah Diraja Tuanku di istiadat pembukaan Parlimen yang — pada 26 Februari lalu.
Ucapan Titah Tuanku terutama dalam memastikan kesejahteraan hidup rakyat sentiasa terpelihara akan menjadi teras panduan serta inspirasi kepada saya untuk terus komited untuk melakukan yang terbaik bagi memperbaiki segala kekurangan yang ada serta menambah baik tahap serta kualiti penyampaian perkhidmatan demi keselesaan, keselamatan serta kehidupan rakyat ke arah yang lebih sempurna di masa akan datang.
Menjunjung kasih dan setinggi penghargaan atas kepimpinan cemerlang Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke-16, Al- Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Permaisuri, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah. Rakyat Malaysia begitu bertuah dan bersyukur bernaung di bawah payung negara dan kebijaksanaan pentadbiran Tuanku dalam membangunkan negara, merapatkan hubungan rakyat dengan Raja serta sentiasa mengambil berat untuk menabur khidmat bakti kepada rakyat.
Saya turut mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan atas keprihatinan Ahli-ahli Yang Berhormat mengenai isu-isu yang telah
Menteri Kerja Raya - Dato Sri Alexander Nanta Linggi
dibangkit berhubung Kementerian Kerja Raya. Saya akan cuba menjawab semua isu yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat semua berdasarkan batasan waktu yang ada Tuan Yang di-Pertua.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Kalau tak sempat, boleh bagi jawapan bertulis.
Dato Sri Alexander Nanta Linggi
Baik. Tuan Yang di-Pertua, ada tiga yang ingin saya sampaikan di sini terlebih dahulu. Perkara ini sudi saya kongsian bersama dengan Ahli Yang Berhormat semua kerana terkait juga dengan pertanyaan yang dibangkitkan sebelum ini. Pertama, Jalan Lingkaran Tengah Utama (LTU) Seksyen 5A: Raub Bypass, Raub, Pahang sudah dibuka mulai 7 Mac 2024 baru-baru ini, ini berita baik. Kementerian Kerja Raya amat bersyukur dan berbesar hati dapat menyiapkan satu lagi projek yang dapat memberi manfaat kepada semua rakyat dengan menyediakan rangkaian hubungan, accessibility dan mobiliti melalui penyediaan infrastruktur jalan yang berkualiti.
Pembukaan jajaran ini pastinya akan memberi manfaat kepada pengguna jalan raya dengan memendekkan masa perjalanan dari Lebuhraya Pantai Timur ke Kuala Lipis tanpa perlu melalui Bandar Bentong dan Raub dengan jarak perjalanan 45.3 kilometer yang mengambil masa 30 minit sahaja. Penjimatan masa ini kemudiannya diharapkan akan menjimatkan keseluruhan kos perjalanan. Pembukaan jajaran ini juga akan dapat mengurangkan kesesakan trafik di Jalan Persekutuan FT008 sedia ada terutamanya pada waktu puncak ketika musim perayaan dan cuti sekolah dan seterusnya, menjimatkan masa sehingga dua jam berbanding jika kita melalui jalan sedia ada yang terpaksa melewati Bandar Bentong dan Bandar Raub.
Risiko kemalangan jalan raya juga diharap dapat dikurangkan kerana simpang jalan yang dilengkapi dengan lampu isyarat. Projek Lingkaran Tengah Utama (LTU) atau dahulunya dikenali sebagai Central Spine Road merupakan projek berimpak tinggi yang menghubungkan Kuala Krai, Kelantan sehingga persimpangan Lebuhraya Pantai Timur Pahang. Panjang keseluruhan projek LTU adalah 299.4 kilometer serta melibatkan kos sebanyak RM7.7 bilion.
Tuan Abdul Latiff bin Abdul Rahman - Kuala Krai
[Bangun]
Dato Sri Alexander Nanta Linggi
Awal.
Tuan Abdul Latiff bin Abdul Rahman - Kuala Krai
Sikit. Terima kasih Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua, terima kasih Yang Berhormat Menteri. Saya tertarik dengan apa yang disebut oleh Yang Berhormat berkaitan dengan LTU dan juga KBKK tadi. Cuma, persoalan saya ialah sepanjang perjalanan daripada Simpang Pelangai ke Kuala Krai dan ke Kota Bharu, adakah terdapat dalam perancangan pihak kementerian untuk mengadakan Rehat dan Rawat (R&R) kerana setakat ini yang dah siap sehinggalah yang baharu buka di Raub ini, belum lagi ada R&R? Jadi sepanjang ini, adakah dan berapakah R&R akan dibina dan apakah perancangan pihak kementerian? Terima kasih Yang Berhormat.
Dato Sri Alexander Nanta Linggi
Terima kasih Yang Berhormat. Memang ini dalam — sudah diperbincangkan dan juga ramai, termasuk Yang Berhormat sendiri sebentar tadi memohon supaya diadakan juga, dibangunkan tempat-tempat R&R ini. Oleh kerana itu, kita sebenarnya tidak ada dalam projek ini. Tetapi oleh sebab permohonan ini daripada ramai termasuk juga Menteri Besar Pahang baru-baru ini bila saya turun padang 7 Mac ke Raub, memang kita sudah hendak sediakan untuk kenal pasti mana-mana pihak yang berminat dan juga tempat mana yang mungkin diinginkan sebab kita boleh menyediakan untuk projek ini. Memang kita faham kerana ini diperlukan sangat. Terima kasih Yang Berhormat.
Dato' Indera Mohd Shahar bin Abdullah - Paya Besar
Yang Berhormat Menteri, boleh sikit?
Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi bin Salleh - Pasir Puteh
Yang Berhormat, boleh sikit?
Dato Sri Alexander Nanta Linggi
Boleh, boleh.
Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi bin Salleh - Pasir Puteh
Sedikit. Terima kasih Dato’ Yang di-Pertua dan terima kasih kepada Yang Berhormat Menteri.
Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi bin Salleh - Pasir Puteh
Lebuh raya dari Gua Musang sampai ke Raub— bukan. Yang disebut oleh Yang Berhormat. Makna kami dari Gua Musang, dari Kelantan. Lebuh raya ini dia akan sampai ke Lebuhraya Pantai Timur. Dari Lebuhraya Pantai Timur sehingga ke Gombak, dari Karak sehingga ke Gombak mengalami kesesakan yang sangat dahsyat.
Jadi, adakah perancangan daripada kerajaan untuk mengalihkan aliran ataupun lebuh raya yang baharu? Kalau dari Lipis sampai terus, bukan ke lebuh raya ini. Maknanya satu exit yang keluar untuk mengelak daripada berlakunya kesesakan yang sangat parah.
Ataupun dari Karak diwujudkan satu laluan yang lain menuju ke Shah Alam ataupun sebagai apa-apa juga inisiatif daripada pihak kerajaan. Sekian, terima kasih.
Dato Sri Alexander Nanta Linggi
Tan Sri Yang Berhormat, ini pun LLM, kementerian, JKR dan sebagainya memang kita tahu sangat akan masalah ataupun perkara-perkara yang dibangkitkan oleh Ahli Yang Berhormat. Sebab Ahli Yang Berhormat pun antara ramai yang membangkitkan perkara yang sama.
Kita ada perancangan, kita ada kajian yang kita buat terlebih dahulu dan sebenarnya Yang Berhormat, kalau masa mengizinkan ada dalam jawapan saya seterusnya nanti. Tetapi ya lah yang sebenarnya Yang Berhormat kalau kita perlu jawab semua, saya ada 116 muka surat. Tetapi— sebab apa Yang Berhormat, Tuan Yang di- Pertua, saya mengarahkan pegawai-pegawai untuk setiap soalan ataupun pertanyaan dijawab dengan selengkap-lengkapnya. Sebab itu kita jawab panjang-panjang. Akan tetapi, memang seperti biasa mungkin masa tidak mengizinkan.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Memang tidak cukup.
Dato Sri Alexander Nanta Linggi
Akan tetapi saya akan sampaikan secara bertulis nanti. Ini peringkat awal saya tidak— sebab kita tidak hendak buat secara simple sahaja. Kita buat selengkap-lengkapnya jawapannya ataupun penjelasannya.
Dato' Indera Mohd Shahar bin Abdullah - Paya Besar
Menteri.
Dato Sri Alexander Nanta Linggi
Ya. Saya teruskan ya.
Dato' Indera Mohd Shahar bin Abdullah - Paya Besar
Menteri, sedikit. Sedikit.
Sedikit sahaja.
Dato Sri Alexander Nanta Linggi
Baik.
Dato' Indera Mohd Shahar bin Abdullah - Paya Besar
Yang Berhormat Menteri, saya hendak merujuk balik apa yang ditanya oleh Kuala Krai, pembinaan R&R.
Cumanya, saya minta sangat Kementerian Kerja Raya untuk berbincang secara holistik.
Adakah— ya, betul kita membina lebuh raya ini akan menyelesaikan satu segi daripada segi kesesakan dan memberi kemudahan. Tetapi daripada segi impak ekonominya, apabila kita membina R&R di kawasan lebuh raya, akhirnya bandar-bandar kecil yang bypass tersebut mengalami kesannya dan kesannya agak besar, Yang Berhormat.
Saya fikir sebelum ke keputusan hendak dibuat di tempat-tempat R&R, perlu membuat kajian impak pada ekonomi. Akhirnya, ia tidak membantu untuk kita jangka masa yang panjang. Terima kasih, Yang Berhormat.
Dato Sri Alexander Nanta Linggi
Sangat tepatlah Yang Berhormat, pandangan itu yang kami pun sudah ambil kira. Sebab itu kita tidak tergesa-gesa hendak mengenal pasti ke mana dalam jajaran itu. Sebab itu kita berdasarkan kepada permohonan dan kajian.
Sebenarnya Yang Berhormat, pada 7 Mac yang lalu, semasa kita bersama Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Besar Pahang di Raub, kerajaan negeri telah mengenal pasti satu tempat dan kami bertanya adakah satu tempat disyorkan itu tepat. Dia kata memang tepat kerana dalam pandangan kerajaan negeri, sudah semestinya tempat itulah ada yang tepat untuk diletakkan R&R.
Dato Sri Alexander Nanta Linggi
Kita faham kerana Pekan Bentong dan Raub ini berasa akan tidak dilalui lagi.
Tetapi adalah tarikannya. Mungkin kita boleh promosikan yang lain untuk kita masih juga tarik pengguna jalan raya ke Raub. Tetapi sebenarnya projek ini untuk mengelakkan kesesakan di Raub dan Bentong juga. Jadi, betul. Kita hendak selesaikan satu masalah mungkin ia menimbulkan satu masalah kepada pihak lain. Ini kita kena buat kajian sedalam-dalamnya. Terima kasih Yang Berhormat.
Saya hendak teruskan ya. Berita baik yang kedua. Ini baru mukadimah ini Yang Berhormat. Saya hendak berikan sedikit respons kepada Ahli Yang Berhormat Langkawi bahawa Jambatan Sungai Peranginan Oriental Village di Langkawi, Kedah sudah siap dan sudah pun dibuka kepada semua pengguna jalan raya pada beberapa hari lepas. 10 Mac ini saya pergi ke sana. Pada sekitar bulan Mei tahun lepas 2023, saya turun ke sana, ke lokasi untuk meninjau pembinaan jambatan itu dan yang diluluskan dalam senarai projek Rolling Plan Keempat Rancangan Malaysia Ke-11 dahulu.
Jadi, ini berikutan masalah kesesakan yang teruk di laluan ini pada waktu puncak yang menyebabkan kerosakan fizikal yang teruk. Jadi, pembinaan jambatan baharu sepanjang 25 meter dengan kelebaran 12.5 meter ini melibatkan kos sebanyak RM7.8 juta. Jadi, kerja-kerja yang dilaksanakan termasuklah menaik taraf jalan tuju, kerja-kerja geoteknikal tempoh penahan ya. Jadi, menaik taraf dan membina sistem saliran, pemasangan lampu dan perabot jalan serta pengalihan utiliti.
Projek ini penting kerana menghubungkan laluan utama ke kereta kabel Langkawi dan Hotel Berjaya yang menjadi tumpuan penduduk setempat dan pelancong dari dalam dan luar negara. Saya berkeyakinan penuh bahawa jambatan baharu ini akan dapat membantu merancakkan lagi aktiviti pelancongan di Langkawi untuk terus berkembang dan dapat membantu menjana ekonomi setempat di samping mengurangkan kesesakan trafik dan memperbaiki semula jalan yang rosak itu.
Jadi, saya turut ingin memaklumkan sedikit berhubung projek pembinaan bangunan tambahan Hospital Sultanah Maliha. Langkawi ada? Kebetulan saya sudah berada di Langkawi kerana saya turut meninjau perkembangan kerja-kerja pembinaan di situ. Jadi, projek pembinaan ini telah diluluskan di bawah Rolling Plan Ketiga Rancangan Malaysia Ke-11 dahulu dengan kos keseluruhan projek sebanyak RM425 juta.
Untuk makluman Yang Berhormat Langkawi, projek ini berjalan seperti dijadualkan dan dijangka siap pada bulan Disember 2025, tahun depan. Kerajaan juga mengharapkan agar apabila siapnya projek ini kelak, akses kepada keperluan perkhidmatan kesihatan penduduk dan pelancong akan dapat ditingkatkan.
Berita baik yang ketiga, pembukaan Seksyen 11. Persimpangan Bertingkat Taiping Selatan ke Persimpangan Bertingkat Beruas Lebuhraya Persisiran Pantai Barat ataupun West Coast Expressway atau lebih dikenali sebagai itulah, bermula tengah malam tadi ya. Kita menyediakan untuk bulan Ramadan ini sebab semalam saya pergi ke sana.
Satu lagi Yang Berhormat, ini pun berita gembira juga. Saya mengumumkan tol percuma untuk semua pengguna lebuh raya yang melalui Seksyen 11 WCE ini menerusi Plaza Tol Taiping Selatan, Plaza Tol Trong dan Plaza Tol Beruas di kedua-dua arah sehingga 11 Mei 2024. Tidak perlu bayar tol selama dua bulan ya. Ramadan dan selepas itu sebulan masa kita merayakan Aidilfitri. Jadi, dua bulan ini lebih daripada yang biasalah.
[Tepuk] Jadi Ahli Yang Berhormat, sepatutnya Seksyen 11 ini kita buka menjelang Aidilfitri tetapi atas keprihatinan serta komitmen kerajaan, kita buka sebelum Ramadan dan juga dapat kerjasama daripada pihak pemajulah. Jadi, diharapkan pencapaian kerajaan ini akan dapat memberikan sedikit kegembiraan dan keceriaan terutamanya di waktu sambutan bulan Ramadan ini dan juga dalam persiapan untuk menyambut 1 Syawal nanti yang bakal menjelang tiba. Yang penting sekali, berhati-hatilah di jalan raya. Utamakan keselamatan diri dan keluarga tersayang dan sentiasa patuh kepada segala tanda isyarat lalu lintas supaya kita selamat sampai ke destinasi yang dituju.
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Lebuhraya WCE merupakan laluan alternatif terbaharu yang menghubungkan antara negeri Selangor dan negeri Perak
Dato Sri Alexander Nanta Linggi
melibatkan pembinaan jajaran lebuh raya di sepanjang kawasan Banting, Shah Alam, Kuala Selangor, Tanjong Karang di Selangor dan seterunya menyambung jajarannya di kawasan Hutan Melintang, Teluk Intan, Seri Manjong, Beruas sehingga ke Taiping negeri Perak selaras dengan misi Kementerian Kerja Raya untuk memperkasakan pembangunan infrastruktur dan memperluaskan rangkaian jalan raya, Lebuhraya WCE dibina dengan matlamat sebagai menjadi jalan alternatif dalam mengurangkan masalah kesesakan lalu lintas sekali gus menambah baik jaringan pengangkutan negara kita.
Dato Sri Alexander Nanta Linggi
Seperti yang kita sedia maklum, laluan sedia ada kini tidak mampu untuk menampung jumlah aliran trafik yang semakin meningkat terutamanya ketika musim perayaan dan cuti persekolahan. Jadi, lebuh raya WCE akan menjadi laluan alternatif kepada laluan sedia ada daripada Lembah Klang ke Utara terutamanya di persisiran pantai barat. Laluan ini juga dijangka menjadi pilihan kepada rangkaian logistik bagi kenderaan berat ke Pelabuhan Lumut, Pelabuhan Teluk Intan dan Pelabuhan Klang bagi mengelakkan laluan mendaki atau berbukit yang boleh mengoptimumkan kos operasi dan logistik di samping dapat membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas serta memberikan perjalanan yang lebih selesa dan selamat kepada pengguna.
Pembinaan Lebuh raya WCE ini yang menyusuri destinasi tumpuan di kawasan persisiran pantai barat ya ke Taiping dari Selangor, ini membantu memberikan accessibility yang lebih mudah serta membuka lebih banyak peluang penjanaan ekonomi kepada penduduk setempat. Ini banyak tempat yang dilalui seperti mana telah saya sebut dan saya sebut sekali lagilah seperti Banting, Shah Alam, Kuala Selangor, Tanjong Karang, seterusnya Hutan Melintang Teluk Intan, Bagan Datuk, Seri Manjung, Setiawan, Beruas hinggalah ke Taiping. Jadi, banyak tumpuannya tadi.
Tuan Jamaludin bin Yahya - Pasir Salak
Menteri, pencelahan dari Pasir Salak.
Celahan.
Dato Sri Alexander Nanta Linggi
Okey, sila.
Tuan Jamaludin bin Yahya - Pasir Salak
Yang Berhormat Menteri, Puan Speaker. Pasir Salak hendak mengucapkan tahniah dan terima kasih kerana telah menyiapkan WCE seksyen 11 daripada Beruas ke Changkat Jering. Ini satu petanda baiklah kerana diberi juga dua bulan percuma. Persoalan daripada Pasir Salak, adakah cadangan daripada Kementerian Kerja Raya untuk meletakkan R&R di sebelah Pasir Salak di kawasan bersebelahan dengan jambatan Bagan Datuk. Sebab kesesuaian, sebab Pasir Salak ingin menjadikan di Kampung WCE itu sebagai bandar satelit. Terima kasih.
Tuan Afnan Hamimi bin Taib Azamudden - Alor Setar
Sikit Menteri berkaitan WCE. Adakah kementerian bercadang untuk membesarkan Tol Changkat Jering itu sendiri sebab dia akses utama daripada PLUS ke WCE? Setakat ini Tol Changkat Jering itu tidak berapa besar, dia hanya untuk laluan biasa. Tetapi bila ada WCE yang baru ini, pada pandangan saya ia perlu diperbesarkan. Adakah kerajaan ada perancangan untuk memperbesarkan tol Changkat Jering? Terima kasih.
Dato’ Haji Mohd Suhaimi bin Haji Abdullah - Langkawi
Langkawi Yang Berhormat Menteri. Saya hendak ucap terima kasih berhubung dengan Hospital Langkawi tadi. Cumanya, baru-baru ini kita dikejutkan dengan Raja Norway, Raja Harald yang ke Langkawi dan kemudian sakit. Dia dimasukkan ke hospital wad biasa kerana kita tidak ada wad Diraja. Saya pohon agar diberi consider dengan izin untuk diadakan wad Diraja dan wad VVIP kerana terlalu banyak Menteri-menteri yang kadang-kadang pergi ke Langkawi dan jatuh sakit. Ini permohonan saya. Terima kasih.
Dato Sri Alexander Nanta Linggi
Tuan Yang di-Pertua, saya jawab dari Langkawi dululah. Tuan Yang di-Pertua, Yang Berhormat Langkawi sebenarnya pada 10 hari bulan semasa saya meninjau ke sana, minta maaf – lapan hari bulan baru-baru ini dan 10 hari bulan. Memang ada 20 wad untuk VIP dan satu memang dibuat lebih istimewa. Jadi, mungkin itu boleh menjawab permohonan Yang Berhormat Langkawilah. Memang sudah ada dalam projek ini.
Dato Sri Alexander Nanta Linggi
Jadi, untuk Alor Setar ini, kita buat kajian. Kita melihat kalau ada keperluan, kita akan mengarahkan supaya diperbesarkan plaza tol sebab kita hendak mengelakkan kesesakan. Objektifnya kita hendak selesaikan masalah. Kalau itu lah yang diperlukan, mungkin kita buat.
Jadi, Pasir Salak, R&R ya. Terima kasihlah kerana ada cadangan. Jadi, buat masa sekarang kita belum tahu – tidak ada lagi. Jadi sama juga jawapan. Kalau ini diperlukan, kita akan buat kajian. Kalau ini diperlukan, bagi saya mungkin tidak ada masalah untuk dibangunkan R&R dekat sana kalau ada keperluan ya Yang Berhormat Pasir Salak.
Jadi, saya teruskan. Tuan Yang di-Pertua, ini masih berkaitan dengan WCE tadi, sedikit. Kawasan-kawasan yang dahulunya tidak mempunyai pilihan jaringan pengangkutan yang luas kini mempunyai lebih keterhubungan ke pusat pertubuhan yang berpotensi seperti pelabuhan yang telah saya sebut tadi dan kawasan perindustrian dan pusat-pusat komersial serta logistik. Di samping itu, dapat kita lihat kini potensi-potensi pembangunan di sepanjang Koridor WCE termasuklah projek perumahan dan komersial di daerah Manjung yang dibina berdekatan dengan Lebuh raya WCE.
Jadi, Tuan Yang di-Pertua ada tiga berita baik sebagai mukadimah. Jadi, ini untuk yang satu ini untuk memberi berita terkinilah, update kata. Ini mengenai dengan program aplikasi aduan MyJalan Kementerian Kerja Raya. Saya sentuh sikitlah berhubung dengan program MyJalan ini. Saya rasa Ahli Yang Berhormat semua sudah sedia maklum dengan program ini berdasarkan penjelasan yang telah saya berikan sebelum ini. Pun begitu, saya hendak respons sedikit berhubung perkembangan terkini ya program ini.
Jadi, Kementerian Kerja Raya telah menerima sebanyak 12,245 aduan berkaitan dengan kerosakan jalan raya, lampu isyarat dan lampu jalan, papan tanda, perabot jalan, kemudahan awam dan sebagainya melalui aplikasi MyJalan KKR ini. Daripada jumlah keseluruhan aduan yang diterima, hanya 25.91 peratus atau 3,173 aduan membabitkan jalan di bawah seliaan agensi Kerja Raya, Kementerian Kerja Raya. Manakala 74.09 peratus atau 9,072 aduan adalah melibatkan jalan bandaran, PBT ya, jalan kampung, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah dan Jalan Pertanian, Jabatan Pengairan dan Saliran dan lain-lain dan juga jalan kerajaan negeri.
Sebanyak 2,345 aduan telah diselesaikan, yang diselesaikan ini dalam 25 peratus dari 3,173 yang di bawah naungan KKR atau JKR Malaysia. 2,345 aduan telah diselesaikan oleh agensi KKR dengan 2,193 atau 93, 52 peratus selesai dalam tempoh satu hingga 30 hari. Jadi, manakala 828 aduan masih dalam proses tindakan ya. Jadi, ini saya pastikan yang dalam seliaan KKR segera. Sama juga dengan yang lain. Tetapi yang itu tergantunglah kepada agensi yang bertanggungjawab yang lain itu.
Jadi, suka saya memaklumkan di sini bahawa kementerian telah menerima respons yang sangat baik terutama sokongan daripada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor yang saya berjumpa juga, Menteri Besar Negeri Sembilan, Menteri Besar Pahang baru- baru ini. Juga di Sarawak, Timbalan Premier Sarawak. Terbaharu, kelmarin saya berjumpa dengan Yang Amat Berhormat Menteri Besar Perak untuk bersama-sama menganjurkan serta merancakkan lagi pelaksanaan MyJalan ini di peringkat negeri. Kita tidak mahu lagi kita ini, apa kata orang bersendirian atau work in silo apabila melibatkan risiko nyawa dan kepentingan rakyat. Kerana kita perlu bekerja sebagai the whole-of- government approach, asalkan matlamat kesejahteraan rakyat tercapai.
Jadi, Tuan Yang di-Pertua saya beralih kepada fasal projek yang dilaksanakan oleh Kementerian Kerja Raya. Saya ingin menyentuh sedikit berkenaan dengan status projek fizikal pembinaan. Sehingga 31 Disember tahun 2023 sebanyak 2,118 projek fizikal pembinaan yang dilaksanakan oleh JKR adalah seperti berikut:
(i) 589 projek dalam peringkat pra pembinaan (kerja awalan);
(ii) 772 projek sedang dalam pembinaan; dan
(iii) 757 projek telah siap.
Ini setakat Disember 2023. Bagi projek pemulihan, pemuliharaan, ubah suai dan naik taraf, sebanyak 9,349 bilangan kerja telah dilaksanakan oleh JKR bernilai RM3.42 bilion pada tahun 2023.
Dato Sri Alexander Nanta Linggi
Jadi, bagi tahun 2023 juga, Jabatan Kerja Raya telah berjaya mengeluarkan Surat Setuju Terima (SST) sebanyak 315 projek dengan nilai RM5.515 bilion. Jadi, bagi tahun 2023 sebanyak 180 projek dengan nilai RM4.63 bilion telah berjaya disiapkan. Dalam masa yang sama, terdapat juga beberapa projek yang diberikan perhatian rapi dalam menangani isu lewat ataupun sakit iaitu hanya 21 projek sahaja berbanding dengan 730 projek dalam peringkat pembinaan dalam tahun 2023 atau yang sakit ini hanya 2.8 peratus sahaja, Tuan Yang di-Pertua yang diklasifikasikan sebagai projek sakit.
Saya ingin menunjukkan kepada Ahli Yang Berhormat bahawa jumlah projek sakit hanyalah sebilangan kecil berbanding dengan projek yang sedang aktif dan telah disiapkan. Jadi JKR sentiasa memantau projek sakit ini dan mengambil langkah-langkah intervensi untuk menyelamatkan projek-projek ini. Sebab dalam susur media dan sebagainya yang di-viralled-kan, yang diuar-uarkan bunyinya lebih adalah sebanyak 2.8 peratus yang bermasalah sahaja. Lebih cemerlang kita siapkan itu...
Datuk Seri Panglima Moktar bin Radin - Kinabatangan
Boleh tanya Yang Berhormat?
Dato Sri Alexander Nanta Linggi
...kadang-kadang ia terlepas pandang.
Datuk Seri Panglima Moktar bin Radin - Kinabatangan
Boleh tanya sikit?
Dato Sri Alexander Nanta Linggi
Boleh.
Datuk Seri Panglima Moktar bin Radin - Kinabatangan
Terima kasih Yang Berhormat rakan saya, sahabat saya. Ini apakah projek sakit jalan raya termasuk juga pakej beberapa pakej Pan Borneo di Sabah yang sudah dibina sejak tiga empat tahun sampai hari ini belum juga selesai-selesai. Apakah masalah yang dihadapi? Terima kasih.
Dato Sri Alexander Nanta Linggi
Kita dapati antara sebab masalah mereka itu ada di antara syarikatnya mungkin kelemahan dalam kewangan mereka. Ada juga mereka berdepan dengan masalah peralihan utiliti. Sebab itu bergantung pada agensi lain juga di sana. Jadi ada juga memang mereka ini bermasalah dengan teknikal-teknikal yang lain.
Jadi kita telah berbincang dengan mereka. Saya telah mengarahkan supaya mereka buat sesuatu untuk mereka ini menangani masalah mereka supaya projek-projek yang dikatakan sakit ini dia pulihlah.
Ini bukan senang Yang Berhormat. Mungkin kalau saya boleh katakan ini Yang Berhormat sendiri pun tahu akan masalah ini kerana Yang Berhormat pernah jadi Menteri Kerja Raya, Yang Berhormat Timbalan Menteri masa itu di Sabah. Kalau ada idea yang lain Yang Berhormat boleh kami buat untuk kami minta bantu mungkin Yang Berhormat sendiri bagi kepada KKR ataupun JKR Malaysia apa cadangan-cadangan bagaimana kita menangani masalah ini dan juga yang lebih penting kita mengelakkan masalah yang sama di fasa-fasa yang akan datang. Itu pun yang sangat penting Yang Berhormat. Terima kasih Yang Berhormat Kinabatangan. Jadi...
Datuk Seri Panglima Mohd Shafie bin Apdal - Semporna
Dengan izin.
Dato Sri Alexander Nanta Linggi
Oh okey. Bos saya.
Datuk Seri Panglima Mohd Shafie bin Apdal - Semporna
Terima kasih Yang Berhormat Menteri yang cukup arif dalam mengurus kerja beliau. Dato’ Speaker dengan izin. Saya ingin tadi Yang Berhormat menyatakan bagaimana pandangan, cadangan. Jadi saya ingin mencadangkan kalau boleh. Kalau tak boleh tak apa. Cuma cadangan saya kalau boleh dari segi pengalaman yang dahulu dalam kita melantik kontrak kontraktor yang ada. Semalam saya ingat Timbalan Menteri pun dah sebut beberapa kontraktor yang boleh dalam fasa-fasa akan datang layak untuk menerima kerja-kerja semua, senarai dia cukup besar. Bila diumumkan.
Tetapi di antara pertimbangan yang telah diambil oleh pihak kerajaan ialah kewangan. Tadi pun Yang Berhormat sebutkan. Saya ingat bukan hanya kewangan itu harus menjadi pendekatan kita. Kadang-kadang di syarikat yang kewangan dia ada tetapi masalah dia bukan dari tempat itu. Ada syarikat yang daripada tempat situ kewangan dia tak seberapa. Mungkin sebahagiannya boleh tetapi kena pinjam daripada bank. Tetapi
Datuk Seri Panglima Mohd Shafie bin Apdal - Semporna
mereka mempunyai satu manpower, satu kemudahan machineries yang ada. Kadang- kadang kita dapati contohnya di Kinabatangan, di kawasan Sandakan, ada syarikat- syarikat yang asalnya daripada situ mungkin kewangan tidak seberapa.
Pertimbangan tidak seharusnya menjadi keutamaan kewangan. Kalau tidak nanti esok Yang Berhormat mereka akan melantik subkontraktor dan ini ketirisan. Ini sebahagian besar yang berlaku contohnya bagi dengan syarikat ini datangnya dari Kota Kinabalu buat kerja. That’s what for example. Saya bagi contoh yang projek di Tawau itu complete 100 peratus, saya setuju. Fasal saya lalui jalan itu dan saya siasat jalan itu. Saya turun ke bawah bagaimana measure bitumen dia, kualiti dia baik. Fasal the contractor local di situ.
Tetapi bila kontraktor itu oleh sebab pertimbangan kewangan datangnya daripada Semenanjung. Lepas itu, buat kerja dekat Sabah. Contoh sahajalah. *They may have the money. But they don’t have the people to do the job. Manpower depends on subcontractor.
Subcontractor*, banyak ketirisan. Ini yang membantut usaha kita. Jadi, saya berharap mungkin di antara langkah pihak kerajaan perlu melihat di antara bukan semestinya kewangan. Bagaimana kita mahu membantu kontraktor untuk dilonjakkan di masa akan datang. Kalau tak kita hanya akan melantik kontraktor-kontraktor berlandaskan dengan wang mereka kuat tetapi we cannot uplift young people who can do the job with good quality yang ada. Minta pandangan Yang Berhormat.
Dato Sri Alexander Nanta Linggi
Terima kasih. Ini sifu saya dahulu bersama Kementerian Luar Bandar. Banyak buat untuk Kapit juga. Terima kasih lah Yang Berhormat Semporna. Yang Berhormat Semporna sebenarnya apa yang dengan panjang lebar disebut oleh Yang Berhormat tadi memang kami dah ambil maklum. Sebenarnya kita berdua pun selalu berbincang. Yang Berhormat pernah datang ke pejabat saya pun bangkitkan perkara ini dan kami amat menghargai pandangan-pandangan Yang Berhormat itu.
Sebab itulah Yang Berhormat untuk masa depan ini kita ambil kesemua ini sebagai pertimbangan bagaimana kita nak mengelakkan berlakunya nanti kita salah pilih.
Jadi berlakunya masalah yang telah kita alami selama ini. Kontraktor itu mesti ada local knowledge dan sebagainya. Ada rangkaian. Sebab di sana di Sabah kita tahu bahan- bahan pembinaan itu bukan mudah. Kuari dan sebagainya. Jadi kontraktor dari luar mungkin bermasalah nanti. Saya tak boleh lagi nak teliti detil dalam ini Yang Berhormat tetapi kami dah memang ambil maklum.
Apa yang disarankan oleh Yang Berhormat pun tercatat nanti. Terima kasih Yang Berhormat. Sebenarnya nanti ada jawapan kepada Pan Borneo. Yang Berhormat pun bincang dalam Pan Borneo. Ramai dalam ini. Tetapi ini masih dalam mukadimah yang awal.
Tuan Yang di-Pertua saya teruskan. Saya nak kongsi sedikit kena update ataupun memberi maklumat terkini lah dalam bidang kuasa KKR dan JKR sebagainya. Ini pelaksanaan Building Information Modeling ataupun BIM. BIM ini juga telah banyak kali saya sentuh di dalam Dewan yang mulia ini terutama dari segi manfaat adaptasi teknologi terkini serta dari segi penjimatan kos dalam pembinaan. Saya nak sentuh sikit berhubung pencapaian. Ini saya nak update-kan. Pelaksanaan program BIM di Kementerian Kerja Raya ini.
Sehingga 31 Disember 2023 sebanyak 296 projek Rancangan Malaysia Kedua Belas sedang dilaksanakan secara dengan Building Information Modeling (BIM) ini di mana 133 projek yang dilaksanakan secara konvensional dalaman. Jadi 44 projek secara konvensional perunding serta 119 projek secara reka bina. Daripada jumlah keseluruhan tersebut, sebanyak 80 projek BIM telah memasuki fasa pembinaan dan 57 projek di fasa perolehan, 68 projek di fasa reka bentuk dan 91 projek di fasa perancangan.
Kementerian Kewangan telah meluluskan penambahbaikan perolehan perkhidmatan peralatan komputer berspesifikasi tinggi berserta perisian BIM untuk semua projek JKR yang dilaksanakan secara adaptasi BIM, LOD 500 dan turut memberikan kebenaran khas menggunakan peruntukan projek untuk tujuan latihan kursus BIM melalui Transfer of Technology ataupun ToT. Di bawah kaedah wang peruntukan sementara bagi
Dato Sri Alexander Nanta Linggi
projek BIM JKR bernilai RM50 juta ke atas. Terima kasih lah kita ucapkan kepada Yang Berhormat Menteri Kewangan atas sumbangan itu.
Jadi, Tuan Yang di-Pertua tadi BIM JKR. Sekarang saya beralih ke BIM CIDB.
Dato Sri Alexander Nanta Linggi
CIDB ini Construction Industry Development Board yang telah memulakan cadangan pembangunan dokumen BIM Roadmap 2025-2030, lima tahun, yang dijangka siap pada tahun 2024 ini. Roadmap ini merupakan sebuah pelan tindakan strategik bertujuan untuk memperkasa inisiatif terhadap meningkatkan tahap adaptasi penggunaan teknologi BIM bagi projek pembinaan bangunan dan infrastruktur.
Tuan Roslan bin Hashim - Kulim-Bandar Baharu
[Bangun]
Dato Sri Alexander Nanta Linggi
National BIM e-Submission (NBeS) merupakan salah satu inisiatif di bawah program BIM yang dilaksanakan oleh CIDB bersama pihak berkuasa tempatan dalam memudahcara dan mempercepatkan proses semakan pelan bangunan melalui penggunaan teknologi BIM.
Okey, saya habiskan dahulu.
NBes telah dibangunkan untuk melaksanakan semakan secara automatik terhadap pematuhan pelan bangunan dengan Undang-undang Kecil Bangunan Seragam 1984 atau Uniform Building By-Laws dan Malaysian Standards (MS) 1184. Keupayaan automasi ini akan mengurangkan tempoh menyemak pelan bangunan dengan ketara daripada 21 hari kepada 24 atau 48 jam sahaja bergantung kepada kerumitan modul BIM yang diserahkan.
Ya, sila.
Tuan Roslan bin Hashim - Kulim-Bandar Baharu
Baik, terima kasih, YBM.
Saya tengok masa tinggal satu minit. Dah tentu jawapan untuk Kulim-Bandar Baharu tidak sempat disentuh. Saya mohon mencelah.
Untuk pertanyaan saya, saya dah tiga kali berbahas dan tiga kali bertanya dan berjumpa dan juga mengutuskan surat. Jadi, saya nak minta, kalau boleh, jawapan daripada Menteri semasa penggulungan ini tentang FT.136 di Parlimen saya supaya ada berita baik yang boleh Menteri berikan pada pagi ini. Sekian, terima kasih.
Dato Sri Alexander Nanta Linggi
Terima kasih, Yang Berhormat. Sebenarnya, ini untuk setiap Ahli Parlimen...
[Sambil menunjukkan senaskhah dokumen] Dan jawapan Kulim-Bandar Baharu pun termasuk di sini tapi saya tak tahulah masa nanti.
Okey, boleh saya teruskan? Saya ambil maklum dulu. Terima kasih Yang Berhormat Kulim-Bandar Baharu.
Jadi, Tuan Yang di-Pertua, untuk memperluaskan penggunaan teknologi dalam pembinaan melalui program latihan Industrial Building System (IBS) dan juga BIM tadi.
Dalam memperluaskan penggunaan teknologi dalam pembinaan melalui program latihan Industrial Building System (IBS) dan BIM, pihak CIDB telah melaksanakan program latihan IBS dan BIM untuk pemain industri pembinaan.
Berdasarkan maklum balas yang diterima, hampir keseluruhan peserta berpuas hati dengan kandungan latihan dan 85 peratus mengatakan kursus latihan IBS ini memberi manfaat dari segi peningkatan ilmu teknologi terkini dan mampu memberi nilai tambah kepada peserta. Jadi, sehingga Januari 2024, CIDB telah melatih seramai 2,148 peserta dalam kursus pengurusan IBS dan 6,348 pelatih tempatan kompeten BIM.
Jadi, Tuan Yang di-Pertua...
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Yang Berhormat Menteri, saya bagi lima minit tambahan untuk gulung.
Dato Sri Alexander Nanta Linggi
Boleh saya merayu 10 minit? Kasihan ya kawan-kawan.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
10 minit.
Seorang Ahli
[Bercakap tanpa menggunakan pembesar suara]
Dato Sri Alexander Nanta Linggi
Kalau begitu― dalam ini ada TVET dan sebagainya...
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
10 minit.
Dato Sri Alexander Nanta Linggi
Okey. TVET ini saya cerita masa lain. 10 minit...
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
10 minit.
Dato Sri Alexander Nanta Linggi
...Saya bagi kepada― kita ada...
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Setiausaha, 10 minit.
Dato Sri Alexander Nanta Linggi
...34 Ahli Yang Berhormat. Jadi...
[Disampuk] Termasuk.
Tuan Yang di-Pertua, terima kasihlah 10 minit atau ada tambahan. Saya mulakan dengan isu Pan Borneo Sabah― ha, ini― seperti mana yang dibangkitkan oleh Ahli Yang Berhormat Sri Aman, Ahli Yang Berhormat Semporna, Ahli Yang Berhormat Sipitang, Ahli Yang Berhormat Kinabatangan, Ahli Yang Berhormat Sandakan, Ahli Yang Berhormat Keningau, Ahli Yang Berhormat Libaran, Ahli Yang Berhormat Lawas dan Ahli Yang Berhormat Kalabakan. Saya susunkan mana isu yang mana banyak Ahli Yang Berhormat, saya utamakan. Sebab itu kita pilih Pan Borneo dulu ya.
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, pelaksanaan Projek Fasa 1 Lebuh Raya Pan Borneo Sabah dengan anggaran jarak keseluruhan 706 kilometer dibahagikan kepada 35 pakej kerja di mana sehingga kini, 15 pakej kerja telah dibuat pelantikan kontraktor bagi tujuan kerja-kerja pembinaan dengan status kemajuan terkini bagi pakej kerja-kerja telah dimulakan adalah 88 peratus dan akan siap pada awal, kita berharaplah, 2025 nanti. Sebab, ada yang seperti mana dibangkitkan tadi, ada bermasalah. Manakala status Pakej Kerja 9 yang melibatkan laluan dari Serusop ke Pituru pula masih di peringkat perolehan.
Jadi, sehingga kini, pakej-pakej kerja berikut telah dibuka untuk penggunaan jalan raya.
(i) Pakej Kerja 5 (Donggongan ke Papar) telah siap pada bulan Ogos 2022;
(ii) Pakej Kerja 27 (Kampung Lot M ke Batu 32, Sandakan) telah siap pada November 2022;
(iii) Pakej Kerja 15 (Tawau ke Semporna) telah siap pada bulan Ogos 2023; dan
(iv) Pakej Kerja 21 (Lahad Datu Bypass) telah siap pada 30 Oktober 2023.
Secara keseluruhannya, sebanyak 16 pakej kerja termasuk empat yang telah dibuka sedang dilaksanakan buat masa kini dengan kos keseluruhan sebanyak RM10.849 bilion menggunakan peruntukan pembangunan ataupun development expenditure (DE) sepenuhnya. Keseluruhan pelaksanaan projek ini disokong dan dibantu oleh pelbagai agensi berkaitan bagi memastikan ianya dapat disiapkan dalam tempoh dan kos yang ditetapkan.
Bagi isu-isu berbangkit di tapak, pasukan petugas khas juga ditubuhkan bagi menangani dan menyelesaikan isu secara case-by-case. Jadi, isu pelaksanaan projek ini juga akan dibincangkan di peringkat negeri Sabah serta dihadiri oleh pelbagai agensi yang terlibat di mana jawatankuasa ini akan meneliti isu-isu berbangkit bagi memudahkan dan mempercepatkan pelaksanaan projek tanpa mengabaikan kepentingan pemegang taruh yang berkaitan.
Kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM1 bilion setahun bagi pelaksanaan Fasa 1A Projek Lebuh Raya Pan Borneo Sabah ini, di mana sehingga kini, lebih RM6
Dato Sri Alexander Nanta Linggi
bilion telah dibelanjakan termasuklah pembayaran kepada kontraktor, perunding serta pengambilan balik tanah. Manakala bagi pelaksanaan kerja-kerja pembinaan, seperti mana projek-projek kerajaan yang lain, ianya berpandukan pada jadual kerja yang telah dirancang sebelum pembinaan bermula. Walau bagaimanapun, kelancaran kerja-kerja ini bergantung kepada pelbagai faktor. Antaranya, cuaca yang tidak menentu serta cabaran dari segi pengambilan balik tanah.
Bagi kontraktor yang dikenal pasti gagal untuk menyiapkan kerja tanpa alasan yang munasabah, prosedur sedia ada dan terma-terma kontrak telah menetapkan tindakan yang tegas termasuklah amaran dan penamatan kontrak. Namun, ini merupakan mekanisme terakhir sekiranya tiada langkah penambahbaikan dilakukan oleh kontraktor.
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat juga, baki 19 pakej kerja Fasa 1B yang masih belum mula pembinaan akan dibiayai secara hibrid menggunakan peruntukan pembangunan dan melalui terbitan sukuk ataupun bon oleh DanaInfra Nasional Berhad.
Jadi, projek LPB Sabah Fasa 1B ini akan dilaksanakan dengan tempoh pembinaan selama lima tahun dan dijangka akan dimulakan seawal suku kedua tahun 2024 ini.
Maknanya bulan Jun lah.
Buat masa kini, penilaian tender masih berjalan dan keseluruhan proses perolehan ini dijangka akan selesai pada akhir bulan Jun inilah.
Datuk Seri Panglima Moktar bin Radin - Kinabatangan
Boleh tanya sikit, Yang Berhormat Menteri?
Dato Sri Alexander Nanta Linggi
Ya, ya.
Datuk Seri Panglima Moktar bin Radin - Kinabatangan
Sikit saja. Saya dimaklumkan bahawa kementerian telah memanggil beberapa syarikat untuk dibuat pra kelayakan, dan pra kelayakan itu telah ditutup. Jadi, apakah prosedur yang selanjutnya dilakukan oleh kerajaan untuk memberi kontraktor-kontraktor menjalankan pelaksanaan projek ini? Adakah melalui open tender lagi kah, selective tender kah dan apakah caranya kerajaan memutuskan mekanisme dia pula?
Dato Sri Alexander Nanta Linggi
Terima kasih, Yang Berhormat Kinabatangan.
Sebenarnya kita tidak memanggil ya. Kalau memanggil, macam jemputan. Kita buka, kita pelawa untuk syarikat-syarikat yang berminat mendaftar sebagai pra kelayakan.
Dato Sri Alexander Nanta Linggi
Jadi ini telah dibuat. Jadi sesiapa berminat dengan rela mereka sendiri, mereka mendaftar untuk mendapat kelulusan sebagai syarikat yang layak secara pra-kelayakan.
[Timbalan Yang di-Pertua (Dato’ Ramli bin Dato’ Mohd Nor) **mempengerusikan Mesyuarat****] Jadi, selepas itu nanti Yang Berhormat, kaedah dia tidak ada lagi menggunakan direct nego, tidak ada lagi menggunakan selective tender, ia akan dibuka kepada semua syarikat yang sudah lulus dalam pendaftaran sebagai syarikat pra-kelayakan. Jadi itulah penjelasannya, Yang Berhormat.
Jadi Tuan Yang di-Pertua, saya teruskan. Keutamaan pelaksanaan projek LPB Sabah pada masa kini adalah untuk menyiapkan keseluruhan fasa 1 terlebih dahulu. Fasa selanjutnya sebab ada fasa 1 dan fasa 2, fasa 3, jadi untuk fasa selanjutnya, pelaksanaan adalah tertakluk kepada kaedah dan juga penelitian lanjut bersama agensi Pusat dan Kerajaan Negeri Sabah serta status kewangan semasa kerajaan. Ya, yang kita laksanakan ini fasa 1A, 1B sebab ada fasa 2 dan fasa 3.
Baik, Untuk makluman Ahli Yang Berhormat Sri Aman, semakan kementerian ini mendapati jalan dimaksudkan oleh Yang Berhormat ialah akses dari persimpangan LPB ke Pekan Simanggang. Tadi Pan Borneo Sabah sudah selesai sedikit, jadi ini beralih kepada Simanggang di Sri Aman.
Datuk Seri Panglima Mohd Shafie bin Apdal - Semporna
Cuma saya minta sedikit kalau boleh, ingatkan tak selesai lagi Pan Borneo Sabah tadi.
[Ketawa] Minta izin, Yang Berhormat Menteri.
Dato Sri Alexander Nanta Linggi
[Ketawa] Okey.
Datuk Seri Panglima Mohd Shafie bin Apdal - Semporna
Tadi Dato Menteri menyatakan bahawa dalam pelaksanaan juga membabitkan tentang land compensation, yang akan datang ini saya ingat kalau kita panggil pre-qualification selepas itu pihak kerajaan juga mengenal pasti laluan itu.
Dahulu, saya yakin kita banyak belanja, tidak tahu berapa jumlah yang kita bayar pampasan tanah dan kepada siapa. Itu yang besar. Kadang-kadang kita tidak mahu buat jalan selepas itu sebahagian besar daripada belanja ini bagi pampasan jalan. Mungkin di masa akan datang, Pan Borneo yang akan datang, pakej yang akan datang ini boleh tidak Yang Berhormat pastikan supaya laluannya jalan ini kadang-kadang kita ada alignment supaya jangan berulang. Nanti a lot of pampasan, pembayaran tanah yang begitu jumlahnya agak besar. Terima kasih banyak.
Dato Sri Alexander Nanta Linggi
Terima kasih Yang Berhormat. Ini pun kita sudah bincang sebab tidak adalah kita buat peralihan jajaran sebab kalau kita buat itu sepertimana yang disebut oleh Yang Berhormat, ia akan membabitkan ataupun ada financial implikasinya nanti. Jadi, kita hendak elakkan itu. Jadi, memang satu masalah besarlah pelaksanaan projek Pan Borneo di Sabah ini ataupun projek-projek jalan di Sabah ini, selalunya berkaitan dengan pengambilan tanah.
Tuan Lee Chean Chung - Petaling Jaya
[Bangun]
Dato Sri Alexander Nanta Linggi
Jadi, kalau buat perbandingan sedikit, saya dimaklumkan pelaksanaan Pan Borneo di Sarawak dalam isu pengambilan tanah ia jauh murah dan lancar sebab tidak ada masalah complicated macam di Sabah ini. Yang Berhormat tahu...
Tuan Lee Chean Chung - Petaling Jaya
Yang Berhormat tentang – sedikit tentang prasyarat sebab tadi disebut tidak ada prasyarat, tidak ada tender selektif dan lain-lain tetapi mempelawa terbuka. Jadi, saya ingin merujuk sedikit kepada satu kes spesifik iaitu PJD Link yang mana ia adakah melalui projek secara tender ataupun secara award terus ataupun tidak dan mengapanya tidak boleh ‘nyahklasifikasi’ perjanjian konsesi tersebut.
Dato Sri Alexander Nanta Linggi
Tuan Yang di-Pertua, perkara ini perkara baharu, tiada berkaitan. Jadi penjelasan saya akan bagi secara bertulislah. Biar saya tumpu kepada Pan Borneo dan jalan-jalan yang dah sedia ada ini. Ya, sebab PJD Link jauh daripada Sarawak atau Sabah. Baik, terima kasih.
Jadi, okey saya ulang. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat Sri Aman.
Semakan kementerian ini mendapati jalan yang dimaksudkan Yang Berhormat, akses dari persimpangan LPB ke Pekan Simanggang adalah jalan negeri Sarawak iaitu Jalan Sri Aman Akses Q7, persimpangan LPB ke Pekan Batu Lintang, Sri Aman iaitu Jalan Batu Lintang Q171 dan dari persimpangan Lebuhraya Pan Borneo ke Pekan Pantu iaitu Jalan Pantu Q164. Jalan-jalan negeri adalah di luar bidang kuasa Kementerian Kerja Raya ini, Yang Berhormat ya.
Jadi sehubungan itu, kementerian ini berpandangan cadangan untuk menaik taraf atau pemasangan lampu jalan atas faktor-faktor keselamatan di jalan tersebut lebih sesuai lah dilaksanakan melalui peruntukan kerajaan negeri kerana bidang kuasa kementerian ini adalah untuk jalan persekutuan sahaja. Ya, di negeri dia ada sistem kewangan MARRIS, Yang Berhormat pun dah tahu.
Jadi Untuk makluman Ahli Yang Berhormat Beaufort, kementerian ini amat mengambil berat akan isu keselamatan jalan raya menjadi jalan persekutuan...
Dato’ Sri Doris Sophia anak Brodie - Sri Aman
Yang Berhormat Menteri, Yang Berhormat Menteri, Sri Aman. Sri Aman.
Dato Sri Alexander Nanta Linggi
Beaufort?
Dato’ Sri Doris Sophia anak Brodie - Sri Aman
Sri Aman. Semasa berbahas saya bangkitkan yang ada sektor lebuh raya Pan Borneo di kawasan saya P.202 Sri Aman, kebanyakan lebuh raya tidak dilengkapi dengan lampu-lampu jalan. Disebabkan lebuh raya itu ialah Pan Borneo, jadi saya rasa ia di bawah bidang kuasa kementerian Yang Berhormat Menteri.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Yang Berhormat, Yang Berhormat, saya hanya membenarkan Yang Berhormat Sri Aman sebagai orang yang terakhir untuk bertanya kerana masa telah diberi, I think 20 minit juga. Silakan, Yang Berhormat Menteri.
Dato Sri Alexander Nanta Linggi
Ya. Yang Berhormat Sri Aman, kami ambil maklum. Sebenarnya memang ada keperluan di sepanjang jajaran Pan Borneo itu. Pan Borneo itu pun bukan lengkap sebenarnya kerana – sebagai projek dia lengkap, siap 100 peratus tetapi di jajaran itu ada yang kita panggil red line. Red line itu dalam keadaan dia sekarang memang teruklah.
Jadi red line ini dahulu semasa permulaan projek Pan Borneo ini ataupun diluluskan untuk menjimatkan kewangan kerajaan dikeluarkan daripada projek Pan Borneo kerana pada masa itu dia, kualiti dia sangat bagus tetapi sudah beberapa tahun jadi dia sudah rosak. Sebab itu perlulah kita lengkapkan sebab saya terangkan di sini kerana apabila sesiapa menggunakan jalan Pan Borneo ini sepanjang jalan akan ada merasakan, “Eh, mengapa sekadar kualiti dia baik, ada juga yang teruk dan sebagainya.” Nanti orang kata, Alex ini bohong kerana jalan ini macam kualitinya tidak sama.
Memang begitu ya sebab Pan Borneo ini bukan sepanjang 780 kilometer dari Telok Melano sampai ke Miri, dia semuanya dibuat sebagai projek. Ada lebih 100 kilometer yang dikatakan red line sekarang memerlukan ia dibina semula. Jadi bukan sekadar untuk diturap sahaja akan sepatutnya reconstruct, dikata begitu. Jadi sama juga dengan isu lampu-lampu ini tadi. Jadi, Tuan Yang di-Pertua...
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Yang Berhormat Menteri, perlu berapa minit lagi?
Dato Sri Alexander Nanta Linggi
Bolehkah saya selesaikan Beaufort ini sebab saya sudah sebut tadi, kasihan dengan dia.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Baik. Selepas Yang Berhormat Beaufort gulungkan.
Dato Sri Alexander Nanta Linggi
Boleh ya?
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Baik.
Dato Sri Alexander Nanta Linggi
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat Beaufort, kementerian ini amat mengambil berat akan isu keselamatan jalan raya khususnya di jalan persekutuan di seluruh negara. Kementerian ini melalui Program Menaik Taraf Infrastruktur Keselamatan Jalan Raya dan peruntukan khas Kementerian Kewangan tahun 2023 ada melaksanakan skop pemasangan lampu jalan di kawasan berlaku kemalangan atau berisiko kemalangan akibat jalan gelap.
Bagi skop ini kawasan kerap kemalangan atau berisiko kemalangan seperti di persimpangan, selekoh dan jambatan serta kawasan yang mempunyai kemalangan yang akan dikenal pasti dan pemasangan lampu juga akan dibuat secara tempat dan berskala kecil bagi tujuan pencahayaan di sepanjang laluan. Pada tahun 2023, sejumlah RM15.3 juta telah dibelanjakan untuk pemasangan lampu jalan di 106 lokasi terpilih di jalan persekutuan di seluruh Malaysia.
Pada tahun 2023, sebanyak sembilan lokasi di jalan persekutuan di negeri Sabah telah dipasang lampu jalan dengan kos lebih RM1 juta. Jadi ini kerana terpilihlah, dia bukan sepanjang jalan. Bagi tahun 2024 sebanyak lima lokasi jalan persekutuan di negeri Sabah akan dipasang lampu jalan di kawasan berlaku kemalangan atau berisiko kemalangan akibat jalan gelap yang melibatkan Daerah Kota Kinabalu, Penampang, Papar, Kuala Penyu dan Sandakan dan kementerian ini mengambil maklumlah terhadap isu jalan kampung.
[Ketawa] Isu lampu jalan. Jalan kampung saya pun bersama mantan
Dato Sri Alexander Nanta Linggi
Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dahulu, saya bersama ini, bos saya di KKW juga.
[Ketawa] Lampu jalan ini.
Tuan Yang di-Pertua, kita mempertimbangkan pemasangan lampu jalan di lokasi yang dimaksudkan di sekitar kawasan Parlimen Beaufort atas faktor keselamatan sekiranya memenuhi kriteria yang ditetapkan mengikut keutamaan.
Dato Sri Alexander Nanta Linggi
Tuan Yang di-Pertua, satu lagi Lawas, tapi Lawas itu panjang.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Silakan.
Dato Sri Alexander Nanta Linggi
Ha?
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Silakan Menteri.
Dato Sri Alexander Nanta Linggi
Silakan. Nasiblah, Lawas tidak ada? Lawas tidak ada. Ini panjang ini Yang Berhormat. Okey saya tanya, Yang Berhormat Kalabakan, tidak ada? Satu saja. Saya ikut giliran ini. Pokok Sena? Pokok Sena? Okey, Ahli Yang Berhormat Pokok Sena.
Tuan Yang di-Pertua, terima kasih extra time. Saya juga ingin membangkitkan berkaitan isu Persekutuan dalam kawasan Pokok Sena ini. Ini isu pertamalah. Pokok Sena ada beberapa isu ya. Macam contohnya macam Jalan Langgar dikatakan oleh Pokok Sena, jalan utama di bandar raya Alor Setar sudah lama, sudah lima tahun tidak diturap semula. Banyak kerosakan baru-baru juga.
Tuan Yang di-Pertua, untuk makluman Yang Berhormat Ahli Parlimen Pokok Sena, jalan persekutuan yang terlibat adalah laluan FT175 Jalan Gurun-Kepala Batas, seksyen 84.150 ke 147.873. Juga FT1053, Jalan Gurun-Kepala Batas, seksyen 0 ke 6.760 dan FT1054 Jalan Gurun-Kepala Batas juga, seksyen 0.0 ke 18.4 atau 540 sepanjang 89.023 kilometer yang disenggara oleh syarikat konsesi penyenggaraan jalan persekutuan.
Untuk maklumat Ahli Yang Berhormat, jumlah keseluruhan diperuntukkan...
Dato' Wira Dr. Ku Abd Rahman bin Ku Ismail - Kubang Pasu
Dato’ Yang di- Pertua, minta laluan sedikit Yang Berhormat Menteri. Boleh?
Dato Sri Alexander Nanta Linggi
Saya habiskan ini dulu sebab...
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Yang Berhormat, duduk.
Dato Sri Alexander Nanta Linggi
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat Pokok Sena, jumlah keseluruhan peruntukan yang telah disalurkan bagi kerja-kerja penyenggaraan berkala di Persekutuan dimasukkan adalah berjumlah RM2,009,518 untuk tahun 2021 dan RM1,985,933 untuk tahun 2022 dan RM2,013,834 untuk tahun 2023. Bagi perahan kerja-kerja penambahbaikan jalan di Parlimen Pokok Sena, Jabatan Kerja Raya telah mengenal pasti, kami telah mengenal pasti kerosakan yang berlaku di jalan tersebut dan telah menyediakan Anggaran Penyenggaraan Jalan (APJ) berjumlah RM16.88 juta untuk menjalankan kerja-kerja pembaikan jalan melalui program berkala pavement dan berkala bukan pavement. Kesemua kerja-kerja ini akan dilaksanakan secara Arahan Kerja (AK) dan pada syarikat konsesi. Namun, tertakluklah kepada peruntukan yang diluluskan oleh kementerian nanti serta senarai keutamaan kerja yang disediakan oleh Jabatan Kerja Raya berdasarkan penilaian tahap kritikal kerosakan jalan bagi keseluruhan jaringan jalan persekutuan di bawah seliaan kementerian di kawasan Yang Berhormat. Kita dah angkat sebanyak itu, RM16 lebih juta.
Dato' Wira Dr. Ku Abd Rahman bin Ku Ismail - Kubang Pasu
Dato’ Yang di- Pertua, sebelum Menteri, takut lupa Kubang Pasu Dato’ Sri.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Yang Berhormat, duduk.
Dato' Wira Dr. Ku Abd Rahman bin Ku Ismail - Kubang Pasu
Kubang Pasu pun ada minta.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Saya dah hadkan kepada pertanyaan yang terakhir.
Dato Sri Alexander Nanta Linggi
Sebenarnya selepas Pokok Sena, Hulu Selangor, Tumpat, Indera Mahkota, Semporna, Kubang Kerian. Kubang Pasu jauh lagi.
Bagaimana Tuan Yang di-Pertua? Saya selesaikan ini?
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Yang Berhormat, saya telah dimaklumkan oleh Timbalan Speaker sebentar tadi dia dah bagi 10 minit. Saya pun bagi berlebih lagi. Yang Berhormat tolong gulung dan mereka, Yang Berhormat-Yang Berhormat lain boleh diberi secara bertulis.
Dato Sri Alexander Nanta Linggi
Okeylah, saya akurlah. Jadi, kena ada disiplin juga. Minta maaf, tapi yalah kasihan dengan kawan-kawan banyak bangkitkan isu di kawasan masing-masing.
Tuan Yang di-Pertua, saya mengalu-alukan dan mengambil positif atas segala saranan dan pandangan yang diajukan oleh rakan-rakan seperjuangan, Ahli-ahli Yang Berhormat. Kementerian akan terus berusaha serta menambah baik kualiti serta perkhidmatan KKR selaras dengan rukun MADANI yang menjadi tunjang aspirasi dan hasrat kerajaan bagi membentuk teras kerangka dasar dan menjadi asas bagi pembentukan persekitaran yang mampan melalui kaedah-kaedah inovatif, kreatif dan berdaya saing demi kesejahteraan bangsa dan negara kita.
Jadi, kementerian akan terus menggembleng usaha dan tenaga membangun masyarakat sejahtera melalui inisiatif-inisiatif yang dapat mengutamakan serta meningkatkan keselesaan dan keselamatan pengguna jalan raya dengan menaik taraf infrastruktur dan aset sedia ada. Dengan ini Tuan Yang di-Pertua, sekian saja ucapan penggulungan saya. Saya sekali lagi berterima kasih kepada semua Ahli-ahli Yang Berhormat yang telah berbahas berkenaan isu Kementerian Kerja Raya. Sekian, terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Terima kasih Yang Berhormat Menteri. Sebelum saya ke kementerian berikutannya, saya ingin mengalu-alukan dan mengucapkan selamat datang kepada delegasi daripada Universiti SEGi yang diketuai oleh Puan Stella Lau Kah Wai, Pengarah Urusan Universiti SEGi.
Untuk makluman Ahli-ahli Yang Berhormat, pada 23 Februari 2024 yang lalu, Pusat Khidmat Ahli Parlimen Cameron Highlands dengan kerjasama Universiti SEGi telah melancarkan satu inisiatif iaitu Projek Bina Siswa B40@Cameron untuk para pelajar kurang kemampuan dari keluarga B40 dan Orang Asli yang ingin menyambung pelajaran mereka dengan kursus-kursus profesional.
Seperti Ahli-ahli Yang Berhormat sedia maklum, pinjaman PTPTN kepada para pelajar berkemungkinan besar tidak mencukupi bagi para pelajar yang mengambil bidang profesional seperti doktor, arkitek, jurutera dan lain-lain. Oleh itu, inisiatif membolehkan semua perbelanjaan yang tidak mencukupi ditanggung oleh di bawah PTPTNx’tra kendalian pihak Pusat Khidmat Ahli Parlimen Cameron Highlands dan Universiti SEGi.
Yang menarik tentang inisiatif ini, ia menampung kos pendidikan dan sara hidup sepanjang pengajian. Pelajar-pelajar hanya perlu membayar kembali selepas satu tahun tamat pelajaran.
Saya lihat inisiatif yang dilakukan Pusat Khidmat Ahli Parlimen Cameron Highlands dan SEGi University ini merupakan satu inisiatif baik terutama sekali bagi golongan yang kurang berkemampuan terutama golongan B40 yang ingin menyambung pelajaran mereka khusus di dalam bidang profesional. Saya berharap Ahli-ahli Yang Berhormat boleh menguar-uarkan perkara ini kepada mereka yang tergolong untuk mengambil kursus-kursus profesional. Sekian.
Baik, berikutnya...
Datuk Seri Panglima Moktar bin Radin - Kinabatangan
Tuan Speaker.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Ya.
Datuk Seri Panglima Moktar bin Radin - Kinabatangan
Orang Asli Kinabatangan boleh memohonkah pergi situ? Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Boleh. Boleh.
Kalau daripada tempat Yang Berhormat Kalabakan pun boleh.
Datuk Seri Panglima Moktar bin Radin - Kinabatangan
Okey, okey.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Yang menariknya, tidak perlu bayar hingga setahun bekerja.
Datuk Seri Panglima Moktar bin Radin - Kinabatangan
Terima kasih banyak.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Baik, diteruskan kemudiannya menjemput Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri. Menteri, 30 minit.
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri - Tuan Liew Chin Tong
Terima kasih Dato’ Yang di-Pertua. Hebatnya Ahli Parlimen Cameron Highlands.
Dato’ yang di-Pertua, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Ahli-ahli Yang Berhormat yang telah mengambil bahagian dalam perbahasan Usul Menjunjung Kasih Ke Atas Titah Diraja semasa pembukaan Dewan Parlimen tempoh hari dan menyentuh perkara-perkara di bawah tanggungjawab Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI). Setinggi-tinggi penghargaan atas segala pandangan, syor, mahupun cadangan yang telah dibangkitkan sepanjang tempoh perbahasan berlangsung.
Dato’ Yang di-Pertua, sebelum saya bermula poin-poin yang dibangkit, semalam dalam Financial Times, satu rencana bertajuk “Malaysia Chance To Climb The Chip Chain” menjelaskan keadaan ekonomi kita bahawa kerana pertarungan di antara Amerika Syarikat dengan China membawa manfaat kepada ekonomi kita terutamanya dalam bidang semi konduktor. Saya ucap tahniah kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dan juga Yang Berhormat Batu Kawan yang merupakan Ketua Menteri Pulau Pinang kerana perkembangan pesat di rantaian bekalan semi konduktor di Pulau Pinang dan Kulim ini sangat memberangsangkan.
Dato’ Yang di-Pertua, saya ingin sentuh tentang reformasi pasaran buruh ataupun labour market reform dan pembangunan bakat tempatan untuk keperluan industri. Yang Berhormat Larut telah mencadangkan agar mengutamakan graduan tempatan dalam aspek pembangunan kemahiran dan memberikan latihan dan meningkatkan pengambilan graduan dalam sektor berteknologi tinggi dan kerjasama institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan.
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri - Tuan Liew Chin Tong
Agenda pemerkasa tenaga kerja tempatan amat sinonim dengan kesinambungan, kegemilangan negara yang digarap dalam konsep Malaysia MADANI yang mengutarakan raising the floor bagi meningkatkan kualiti hidup dan semua rakyat dan raising the ceiling untuk mengubah struktur ekonomi dan meningkatkan daya saing negara. Sebagaimana diumumkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri baru-baru ini, Malaysia mencatatkan pelaburan yang diluluskan tertinggi dalam sejarah bagi tahun 2023 dengan nilai pelaburan sebanyak RM329.5 bilion, yang mana dijangka akan mewujudkan sebanyak 127,000 peluang pekerjaan baru. Melihatkan keadaan ini, terdapat keperluan untuk mereformasi pasaran buruh dalam negara bagi memastikan rakyat Malaysia dapat pekerjaan yang lebih baik dengan gaji yang setimpal dan memastikan industri Malaysia terus kukuh dan berdaya tahan (resilience).
Industri Malaysia menghadapi tiga cabaran serentak iaitu; Pertama, gaji yang terlalu rendah mengakibatkan rakyat Malaysia tidak lagi memilih bekerja di Malaysia dan bekerja di Singapura. Ramai juga memilih untuk bekerja sebagai pekerja gig kerana gaji sektor formal terlalu rendah.
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri - Tuan Liew Chin Tong
Cabaran kedua ialah, kejayaan negara kita menarik pelaburan pembuatan yang beralih dari rantaian bekalan China, telah menghasilkan keadaan di mana kilang-kilang sedia ada dan kilang-kilang baharu tidak ada pekerja yang mencukupi kerana gaji yang masih di peringkat ini.
Cabaran ketiga ialah, disebabkan perkembangan pesat industri semikonduktor, kereta elektrik dan AI, industri sedunia mengalami kekurangan pekerjaan berkemahiran tinggi terutamanya jurutera operasi dan jurutera untuk R&D dalam bidang-bidang tersebut dan mengejar bakat-bakat di seluruh dunia.
Dato' Sri Saifuddin bin Abdullah - Indera Mahkota
Terima kasih Yang Berhormat. Masa saya berbahas, saya ada menyentuh soal apakah dia kumpulan- kumpulan pekerjaan utama yang Malaysia perlu ada? Saya bertanya bahawa kumpulan sedia ada, yang dalam dokumen kerajaan dari dulu sampai sekarang, ialah dipanggil kumpulan profesional, kumpulan pengurusan, kumpulan juruteknik dan profesional bersekutu, dan setiap satu itu ada dia punya kelayakan yang diperlukan. Yang Berhormat sebut itu, saya rasa merujuk apa yang saya tanya juga. Kumpulan pekerjaan baru untuk menjawab soal gaji, dia tentu ada, kita kena ada. Ibu bapa kena ada understanding juga.
Kumpulan pekerjaan baru untuk menangani atau menjawab persoalan Yang Berhormat timbulkan, terima kasih.
Tuan Liew Chin Tong
Terima kasih Yang Berhormat Indera Mahkota. Betul, untuk menjawab soalan itu sebenarnya sudah ada catit. Apa yang perlu dilakukan oleh negara kita?
Pertama, industri di Malaysia perlu membayar gaji yang lebih tinggi supaya anak Malaysia tidak memilih untuk bekerja di Singapura atau bekerja sebagai pekerja gig dan supaya mereka bekerja sebagai sebahagian daripada sektor formal.
Kedua, Malaysia memerlukan seramai mungkin bakat dalam semikonduktor kereta elektrik dan AI dalam masa yang terdekat. Bermakna, kita perlukan bakat ini seperti apa yang dicadangkan oleh Indera Mahkota. Kita perlu mereka secepat mungkin kerana terlalu banyak pelaburan yang datang daripada negara-negara lain di dalam bidang- bidang baru ini kerana perubahan rantaian bekalan ataupun supply chain relocation dari negara China.
Kedua-dua objektif tersebut tidak bercanggah, industri Malaysia sekarang mempunyai peluang untuk mencapai lonjakan ekonomi kedua yang belum dilihat sejak tahun 1997, second economic take-off. Malaysia memerlukan seramai mungkin pekerja berkemahiran tinggi dan mereka perlu dibayar dengan gaji yang berpatutan. MITI bersama dengan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), Kementerian Ekonomi dan Kementerian Dalam Negeri akan melaksanakan beberapa inisiatif untuk membaharui atau mereformasikan pasaran buruh kita, labour market reform.
(i) menilai penawaran bakat (talent supply) berdasarkan tenaga kerja sedia ada dan jumlah yang akan dihasilkan oleh IPT tempatan seperti universiti, kolej awam dan swasta serta institusi TVET;
(ii) menilai permintaan bakat (talent demand) daripada industri dan melibatkan syarikat utama anchor companies dan menyediakan unjuran untuk keperluan bakat;
(iii) menyelaraskan serta menambah bilangan kursus berkaitan teknologi yang khusus bagi meningkatkan jumlah bakat baharu tempatan bagi memenuhi permintaan industri dan sektor terpilih;
(iv) memuktamadkan cadangan pelaksanaan gaji progresif;
(v) menambah baik dasar semasa penggajian pegawai dagang
(expatriate) dengan meningkatkan kadar gaji baru yang lebih tinggi sebagai langkah kawalan kemasukan expatriate dan meningkatkan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan, khususnya bagi pekerjaan berkemahiran tinggi. Dulu ada
Tuan Liew Chin Tong
kategori yang kira rendah, kita nak naikkan gaji supaya gaji boleh dinaikkan dan kita juga dapat expatriate yang kira berkemahiran tinggi; dan
(vi) melaksanakan sistem levi berperingkat (multi-tier levy) untuk pekerja asing.
MITI sangat menekankan pembangunan kemahiran dan penciptaan peluang pekerjaan untuk rakyat tempatan. Dalam hal ini, aspek latihan adalah penting untuk menyediakan bakat tempatan untuk memenuhi keperluan industri pada masa hadapan.
Justeru, pembangunan bakat telah dikenal pasti sebagai salah satu pemboleh kritikal dalam NIMP 2030. Antara platform perbincangan yang telah ditubuh adalah;
(i) Pasukan Petugas Strategik Semikonduktor Kebangsaan (National Semiconductor Strategy Task Force) bagi mentransformasikan industri ENE di Malaysia dengan keanggotaan pelbagai kementerian, agensi dan pemain industri. Pasukan petugas ini memberi tumpuan dan memacu penambahbaikan kepada tiga aspek iaitu, insentif, bakat dan ekosistem dalam industri ENE khususnya semikonduktor; dan
(ii) Pasukan Petugas Kenderaan EV Kebangsaan bagi memacu keupayaan mobiliti elektrik negara dengan menangani isu berkaitan pelaksanaan ekosistem energy efficient vehicle dengan lebih cekap. Antara tumpuan utama ialah strategi bagi menangani isu kekurangan bakat yang dibangkit oleh industri dalam sektor EV.
Selain itu, MITI melalui Perbadanan Produktiviti Malaysia...
Tuan Syed Saddiq bin Syed Abdul Rahman - Muar
Yang Berhormat Timbalan Menteri.
Tuan Liew Chin Tong
...NPC turut melaksanakan initiative academy in industry sebagai usaha untuk menangani masalah kekurangan tenaga kerja berkemahiran yang dibangkitkan oleh industri. Inisiatif yang dijalankan secara place and train ini mensasarkan penempatan 50,000 bakat tempatan di industri yang terpilih menjelang tahun 2025. Pada masa yang sama, peluang kolaborasi antara IPT tempatan dan pemain industri akan dilakukan secara berterusan agar graduan yang dihasilkan sepadan dengan keperluan industri pada masa kini. Selain itu, corak pendekatan pengajaran dan pembelajaran terutamanya di IPT tempatan perlu berubah kepada berorientasikan kajian kes dan pembelajaran berasaskan...
Tuan Syed Saddiq bin Syed Abdul Rahman - Muar
Yang Berhormat Timbalan Menteri.
Tuan Liew Chin Tong
Masalah dengan membawa cabaran semasa ke dalam kuliah, ya silakan.
Tuan Syed Saddiq bin Syed Abdul Rahman - Muar
Terima kasih. Isu tenaga mahir ialah isu penting dan isu nasional. Yang Berhormat Menteri ada mengumumkan sebelum ini liberalisasi dasar pengambilan tenaga mahir asing di kalangan pelajar asing yang menghabiskan pengajian di Malaysia. Secara amnya, perkara tersebu boleh diterima. Akan tetapi apabila dikaitkan sekali di mana pelajar lokal yang merupakan graduan JPA ditangguhkan kepulangan mereka selama tiga tahun, walhal mereka merupakan tenaga mahir juga, bukankah this is a form of counterproductive di mana kita mengambil tenaga mahir asing. Tetapi pada masa yang sama kita menangguhkan pengambilan tenaga mahir lokal di kalangan pelajar-pelajar Malaysia. Bagaimana kita nak serasikan dua dasar yang seperti bertindih ini? Terima kasih.
Tuan Rushdan bin Rusmi - Padang Besar
Yang Berhormat Menteri, saya nak tambah sikit sahaja. Terima kasih.
Tuan Rushdan bin Rusmi - Padang Besar
Pertamanya, saya nak ucap tahniah jugalah pada KPT baru ini dan juga MITI dan juga pihak IPT atas libat urus yang melibatkan untuk pemahaman tentang landskap dan hala tuju pendidikan tinggi yang untuk synchronize dengan pekerjaan bagi garis panduan untuk landasan hala tuju pendidikan tinggi 2024. Boleh saya tahu apa output yang dapat daripada libat urus tersebut dan juga subjek-subjek apa yang sesuai yang bertepatan dengan keperluan pekerjaan sekarang? Terima kasih.
Tuan Liew Chin Tong
Terima kasih atas dua soalan itu. Saya akan tumpukan apa yang MITI akan laksanakan termasuk apa yang saya telah sebut iaitu labour market reforms atau pembaharuan pasaran buruh termasuk untuk menaikkan gaji, mengurangkan pekerja asing tanpa berkemahiran dan juga memastikan lebih ramai bakat dari semua bidang supaya mereka boleh bekerja di Malaysia dalam sektor-sektor yang kita memerlukan mereka.
Berdasarkan dasar semasa pengambilan aspect trade yang ditetapkan oleh KDN, ini adalah dasar semasa graduan asing di Malaysia yang telah tamat belajar dibenarkan menukarkan pas pelajar (student pass) kepada pas pengajian ataupun employment pass
(EP) dengan syarat graduan asing berasal daripada 23 negara yang dikenal pasti sebagai berisiko rendah serta tempoh pengalaman bekerja adalah sekurang-kurangnya tiga tahun bagi lepasan ijazah dan lima tahun pengalaman bekerja bagi lepasan diploma. Langkah ini adalah untuk menangani isu kekurangan bakat mahir dalam sektor-sektor tertentu khususnya berteknologi tinggi seperti aeroangkasa, kimia E&E, farmaseutikal dan peranti perubatan dan juga EV.
Ini juga adalah bagi membolehkan pelaburan dan projek baharu dapat direalisasikan dengan lancar dan pada masa yang sama untuk memenuhi permintaan buruh dalam era endemik semestinya akan menentukan kejayaan Malaysia yang lebih cemerlang. So, ini seperti apa yang saya jelas tadi, kita membenarkan kemasukan ataupun kemasukan pelajar yang sudah belajar di Malaysia beberapa tahun dan mereka dibenarkan kalau mereka mengikut ataupun mereka daripada negara-negara yang telah disebutkan 23 negara tersebut dan mereka dibenarkan untuk bekerja di Malaysia.
Tapi ini bukan tidak bercanggah dengan dasar kerajaan. Dasar kerajaan ialah untuk memastikan lebih ramai rakyat Malaysia dapat pekerjaan yang lebih baik dengan gaji yang lebih setimpal, gaji yang lebih baik. So, itu hasrat kerajaan dan tidak ada percanggahan di sana.
Dato' Wira Dr. Ku Abd Rahman bin Ku Ismail - Kubang Pasu
Yang Berhormat Dato' Yang di-Pertua, boleh minta laluan Menteri? Terima kasih.
Saya sendiri menyebut tentang perkara ini dan beberapa Ahli Parlimen yang lain pun menyebut termasuk Ketua Pembangkang. Kita berharap Menteri dapat memberikan pencerahan supaya tidak lagi timbul sebarang keraguan. Antara pelaburan yang diluluskan oleh kerajaan khususnya MITI, MIDA dengan apa yang direalisasikan.
Umpamanya pada tahun 2022, kita diluluskan projek— investment yang diluluskan ialah RM264.6 bilion. Berapa peratuskah daripada RM264 bilion itu telah direalisasikan dalam bentuk pelaksanaan dan kita tahu bahawa tak mungkin kita boleh capai 100 peratus Yang Berhormat Menteri. Pengalaman saya sendiri tak pernah capai 100 peratus. Ada projek diluluskan RM13 bilion tapi tidak pernah dilaksanakan sehingga bertahun-tahun sehingga hari ini. Terutamanya pelaburan daripada pelabur-pelabur tempatan. Kadang-kadang masalah sumber kewangan dana dan sebagainya. Boleh Yang Berhormat Menteri berikan percentage secara keseluruhan? Berapa peratus dalam masa dua tahun direalisasikan? Berapa peratus selepas tiga tahun? Dan yang kita capai tahun 2023 iaitu RM329.5 bilion ini, apakah pandangan Menteri? Berapa peratus yang akan dilaksanakan? Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Tuan Liew Chin Tong
Terima kasih Yang Berhormat Kubang Pasu. Memang saya ada sentuh isu ini dan secara rule of thumb untuk jawapan ringkas ialah biasanya rule of thumb 85 peratus akan dilaksanakan dalam tempoh dua tahun. Itu secara rule of thumb kalau ditanya dan ini sudah dijelaskan oleh Yang Berhormat Menteri MITI. Izinkan saya Dato' Yang di-Pertua mengucapkan tahniah kepada— Oh ini saya dah baca ini.
[Ketawa]
Tuan Liew Chin Tong
Yang Berhormat Larut, Yang Berhormat Petaling Jaya, Yang Berhormat Puchong, Yang Berhormat Kubang Pasu, Yang Berhormat Kota Bharu dan Yang Berhormat Machang telah membangkitkan tentang hala tuju MITI bagi mendepani tahun 2024 dalam aspek meningkatkan pelaburan strategik. Adalah menjadi hasrat dan komitmen MITI untuk memastikan Malaysia terus berupaya menarik pelaburan bagi kedua-dua pelaburan iaitu pelaburan asing dan juga pelaburan tempatan selaras dengan hasrat kerajaan untuk memacu pertumbuhan ekonomi kerajaan negara.
Disokong oleh asas yang kukuh dan pembaharuan yang digariskan dalam Ekonomi MADANI dan Belanjawan 2024, pendekatan secara whole-of-government termasuk kerjasama dan sinergi dengan kerajaan negeri akan membolehkan Malaysia mencapai sasaran pertumbuhan keluaran dalam negara kasar KDNK yang lebih kukuh sekitar empat sehingga lima peratus pada tahun 2024.
Dato' Wira Dr. Ku Abd Rahman bin Ku Ismail - Kubang Pasu
Dato' Yang di- Pertua, minta laluan sikit ya Menteri.
Tuan Liew Chin Tong
Ya.
Dato' Wira Dr. Ku Abd Rahman bin Ku Ismail - Kubang Pasu
Baru-baru ini timbul syarikat Goodyear pengeluar tayar dari Amerika Syarikat yang ditubuhkan tahun 1972 akan ditutup. Boleh Menteri berikan pencerahan apa sebenarnya yang berlaku?
Apakah sebab-sebab ia ditutup? Terima kasih.
Tuan Wan Ahmad Fayhsal bin Wan Ahmad Kamal - Machang
[Bangun]
Tuan Liew Chin Tong
Terima kasih Kubang Pasu. Kerajaan juga memandang serius akan keputusan Goodyear untuk menutup kilangnya di Shah Alam. Goodyear membuat keputusan ini atas sebab pelan operation-nya niaga dia baharu yang menyasarkan pengurangan kos sehingga USD1 bilion di seluruh dunia setahun menjelang tahun 2025 di mana penutupan kilang di Shah Alam adalah sebahagian daripada langkah pengurangan kos operasi global syarikat tersebut. Antara kilang Goodyear yang ditutup adalah di Germany, Amerika Syarikat dan juga di Australia.
MITI melalui MIDA telah melakukan langkah proaktif untuk mengurangkan impak penutupan kilang Goodyear tersebut khususnya kepada kebajikan kira-kira 550 orang pekerja. MITI melalui MIDA sudah pun menggerakkan pasukan khas membabitkan PERKESO dan Jabatan Tenaga Kerja melalui Invest Malaysia Facilitation Centre (IMFC) untuk memudahkan penempatan pekerjaan serta menawarkan program peningkatan kemahiran semula pekerja yang terbabit.
Tuan Wan Ahmad Fayhsal bin Wan Ahmad Kamal - Machang
Yang Berhormat Menteri, boleh saya mencelah?
Yang Berhormat Menteri, Yang Berhormat Gombak pun ada dalam Dewan ini.
Minggu lepas dia kata saya tak menipu tapi saya putar belit fakta. Saya faham beliau perlu mempertahankan status Selangor sebagai destinasi pelaburan. Tapi saya bukan nak bercakap perkara yang bagi saya bersifat picisan. Keputusan Goodyear adalah keputusan peniagaan mereka. Akan tetapi, sudah ada siri-siri pelabur-pelabur awal menarik diri seperti Panasonic, Western Digital dan pada minggu ini, Perdana Menteri Thailand pergi ke Perancis dan mengumumkan Thailand berjaya menarik pelaburan daripada Michelin dengan jumlah pelaburan berjumlah RM1.5 bilion.
[Sambil menunjukkan senaskah artikel] Jadi, ingin saya bertanya apakah ada semacam satu cabaran buat negara kita untuk retain dengan izin, pelabur-pelabur asal dan juga menarik pelabur-pelabur berkualiti sebabnya MITI juga menyasarkan Malaysia untuk menjadi hab pembuatan kereta elektrik.
Tapi kalau tayar pun kita tak boleh nak jaga kilang buat tayar, macam mana nak tarik kilang-kilang lain?
Jadi, apakah ada— sebab itu Tan Sri Rafidah, mantan Menteri MITI bersuara.
Masa saya berbahas hari itu, saya terbaca dengan laporan berkenaan dengan Tan Sri Rafidah. Jadi, apa komen MITI? Are we losing competitiveness in this area? Thank you.
Tuan Liew Chin Tong
Hasrat kita sebagai kerajaan dan juga hasrat MITI ialah untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi untuk high-end manufacturer, pembuatan
Tuan Liew Chin Tong
high-end. Kita juga berhasrat untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi ataupun lokasi di mana kita memberikan atau membekalkan high-end services. Bermakna kita buat pilihan. Bermakna kita buat pilihan sebagai satu negara.
Tuan Liew Chin Tong
Tadi saya sebut, kita perlu untuk mewujudkan suasana supaya pekerja-pekerja kilang dapat dibayar dengan gaji yang setimpal, gaji yang lebih tinggi. Apabila kos pekerja naik, corporate perlu buat keputusan, dia buat pilihan dan kita hendak menarik industri- industri high-end kerana di serantau kita tidak ada tempat lain yang boleh jadi satu tapak untuk high-end manufacturing dan saya cadang kepada Machang, boleh baca apa yang ditulis oleh Financial Times semalam supaya memberi gambaran yang betul. Apa yang telah berlaku ialah kita dapat banyak pelaburan dan pelaburan yang menuju ke arah lebih tinggi dan kerajaan berhasrat untuk memastikan pelaburan yang masuk mematuhi apa yang kita sasarkan. Apa yang kita sasarkan? Saya jelas dan akan senaraikan 12 kriteria yang disasarkan oleh NIMP 2030.
NIMP menetapkan enam matlamat utama dan ini bersama dengan National Investment Aspirations yang telah diluluskan oleh kerajaan terdahulu.
(i) meningkatkan kompleksiti ekonomi;
(ii) mencipta peluang pekerjaan bernilai tinggi;
(iii) memperluas rangkaian domestik;
(iv) membangunkan kluster ekonomi baharu dan sedia ada;
(v) mempertingkatkan keterangkuman; dan
(vi) mempertingkatkan penerapan ESG.
Ini adalah enam matlamat yang telah digariskan oleh kerajaan terdahulu dan disambung di diikuti oleh dan diterap masuk dalam NIMP. NIMP berdasarkan enam matlamat itu telah menggariskan sebanyak 12 indikator berasaskan hasil atau outcome base indicators yang akan diguna pakai untuk mengukuh kualiti pelaburan. We are talking about quality investment, okey. Ini adalah 12 indikator.
(i) meningkatkan usaha dalam aktiviti bernilai tambah tinggi;
(ii) mempercepat pembangunan aktiviti penyelidik dan pembangunan R&D serantau;
(iii) mencipta peluang pekerjaan berkemahiran tinggi;
(iv) meningkatkan paras gaji pekerja terutamanya dalam industri pembuatan;
(v) melahirkan PKS yang mampu untuk berdaya saing di peringkat global;
(vi) mendalamkan integrasi rantaian bekalan tempatan;
(vii) meletakkan sektor pembuatan teknologi bernilai tinggi pada kedudukan yang lebih strategik;
(viii) membangunkan kluster baharu dalam menangani pasaran yang berkembang seperti 4.0 IR atau digital;
(ix) merintis pembangunan sektor sectorial dan serantau di negara;
(x) penyertaan daripada negeri-negeri kurang membangun dalam pembuatan nilai tambah;
(xi) mengurangkan risiko atau de-risking economy dalam menangani faktor-faktor ESG; dan
(xii) memenuhi komitmen untuk mencapai sasaran pelepasan karbon sifar bersih atau nett zero.
Tuan Liew Chin Tong
Negara kita membangunkan sektor EV dan negara kita juga ada syarikat tayar yang lain bukan sahaja Good Year sahaja. So, ini adalah keputusan syarikat dan keputusan syarikat kita tidak menghalang apa yang telah diputuskan oleh syarikat tersebut.
Apa yang kita hendak buat sebagai kerajaan ialah untuk memastikan pelaburan yang datang mematuhi 12 indikator yang saya maklum tadi, terima kasih.
Tuan Wan Ahmad Fayhsal bin Wan Ahmad Kamal - Machang
Yang Berhormat Menteri terima kasih. Saya ingin merujuk kembali kepada berita Financial Times itu, saya pun sudah back bookmark tentang berita itu baru hendak baca nanti dan tapi saya kata syabas dan tahniah kerajaan berjaya mengekalkan competitiveness kita dalam bidang ini.
Kita maklum di Kedah pelan manufacturing IC ini di Kulim ATNS dulu saya rasa Kubang Pasu yang bawa masuk, masa dia jadi EXCO. Tetapi baru-baru ini kita dikejutkan dengan satu kritikan rungutan daripada EXCO Pelaburan Kedah yang baharu, ADUN Jitra bekas Naib Canselor UUM. Jadi, beliau kata kenapa bilamana seorang EXCO datang hendak buat program pembangunan untuk melahirkan bakat-bakat baharu ke dalam sektor ini di Kedah, beliau dihalang oleh “Little Napoleon” dalam KPM, macam mana pelabur hendak tengok apakah picisan sangat perbalahan politik kita sampai Exco hendak masuk rasmi program di sekolah pun dihalang.
Jadi macam mana Yang Berhormat Menteri, dahulu Yang Berhormat Menteri masa jadi pembangkang kata kerajaan perlu ada whole-of-government approach dengan izin. Parti Yang Berhormat Menteri pun sama melaungkan slogan ini, tetapi apabila kami di sini, malah EXCO dihalang. Jadi, kami pun ramai yang pakar-pakar engineer, akauntan yang boleh membantu MITI menjayakan misi pelaburan lebih berjaya.
Tuan Liew Chin Tong
Pembukaan perasmian ATNS dihadiri oleh saya, Kubang Pasu dan EXCO Kedah yang disebutkan tadi. Bagi MITI, memang kita menyambut pelaburan yang datang ke negara kita, tidak kira pelaburan tempatan ataupun pelaburan asing dan kita menjayakan semua sebagai satu negara. We are prepared to work as a team dan saya jemput Machang berfikir dan bertindak sebagai satu pasukan.
Tuan Syed Saddiq bin Syed Abdul Rahman - Muar
Yang Berhormat soalan tambahan mengenai isu yang sama. Saya sudah baca artikel Financial Times dan saya rasa ini perkara yang wajib dan dipuji khususnya penjawat-penjawat awam di MITI.
Akan tetapi dalam artikel yang sama dia berkongsikan dua masalah. Pertama sekali dalam sektor semi konduktor kita masih belum lagi masuk atau mendapat pelaburan berimpak tinggi khususnya dalam wafer fabrication. Ada dalam the final line dia katakan bila kita akhirnya akan dapat. Kita masih fokus kepada packaging, itu yang pertama.
Kedua rantaian itu masih berkait rapat dengan MNC-MNC di luar tidak sepertinya di Taiwan contohnya, di mana mereka dah ada local giant seperti TSMC. Bagaimanakah MITI ingin memastikan bahawa dua kekangan yang dikongsikan dalam artikel yang sama dapat kita perbaiki bersama.
Tuan Liew Chin Tong
Dari segi fab TSMC melabur ke Jepun dan Kerajaan Jepun bagi insentif ataupun bayaran geran yang melebihi USD10 bilion. Kerajaan Malaysia mungkin tidak ada ruang fiskal tersebut.
Akan tetapi, saya dan juga Menteri MITI percaya kelebihan yang lain dan juga ekosistem yang kita perolehi di negara kita akhirnya akan menjemput mereka yang ingin menubuhkan fab ke Malaysia.
Isu kedua, memang itu salah satu masalah dan juga salah satu usaha yang akan kita lakukan supaya kita boleh jayakan lebih banyak syarikat tempatan berteknologi tinggi.
Harapan saya ialah menjelang tahun 2030, kita ada 100 buah syarikat yang dengan hasil tahunan...
Timbalan Yang di-Pertua - Dato' Ramli bin Dato' Mohd Nor
Yang Berhormat Menteri, Yang Berhormat Menteri.
Tuan Liew Chin Tong
Ya.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato' Ramli bin Dato' Mohd Nor
Berapa minit perlu?
Tuan Liew Chin Tong
Saya hendak sentuh EV kalau boleh, 10 minit lagi boleh?
Timbalan Yang di-Pertua - Dato' Ramli bin Dato' Mohd Nor
Boleh.
Tuan Liew Chin Tong
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato' Ramli bin Dato' Mohd Nor
10 minit.
Tuan Liew Chin Tong
Ya. Sasaran kita dan harapan saya ialah menjelang tahun 2030, kita ada 100 buah syarikat dengan hasil tahunan yang melebihi RM1 bilion dalam sektor teknologi. Kita perlukan dasar, kita perlukan pelbagai usaha, tetapi hasrat kerajaan ialah untuk mewujudkan lebih banyak syarikat berteknologi tinggi dan dengan hasil melebihi RM1 bilion setiap tahun.
Saya nampak Yang Berhormat Gombak...
Datuk Awang bin Hashim - Pendang
Yang Berhormat Timbalan Menteri.
Tuan Liew Chin Tong
Yang Berhormat Gombak saya hendak jawab...
Datuk Awang bin Hashim - Pendang
Saya bangkit dulu.
Dato' Seri Amirudin bin Shari - Gombak
Terima kasih Yang Berhormat. Saya percaya kalau bidang IC sebelum masuk kepada wafer dan advanced packaging ini merupakan di antara bidang-bidang yang ada dalam semikonduktor.
Namun begitu Yang Berhormat, apa yang saya percaya sekarang ini, pada satu ketika kita accelerate banyak syarikat-syarikat pemula yang masih lagi tidak ada hala tuju.
Namun, saya berpandangan MITI juga boleh membuat program acceleration untuk program-program syarikat-syarikat, anak-anak syarikat kecil atau syarikat-syarikat SME di peringkat negara supaya mereka boleh mencapai ke tahap yang lebih tinggi dan juga melatih engineer, engineer untuk IC dan sebagainya.
Ini satu perkara yang saya rasa kita tertinggal dan tidak memerlukan fund yang besar sebagaimana Taiwan nikmati daripada Jepun yang saya rasa boleh memperkukuhkan ekosistem semikonduktor yang sudah bertapak di Pulau Pinang dan beberapa buah negeri lain, terima kasih Yang Berhormat.
Tuan Liew Chin Tong
Saya sangat setuju dengan pandangan Yang Berhormat Gombak, bahawa IC design dan juga advanced packaging adalah dua bidang di mana negara kita ada kelebihan dan kita harus melabur lebih banyak supaya mewujudkan ekosistem yang lebih sticky yang lebih kuat.
Tuan Liew Chin Tong
Yang Berhormat Gombak telah memberi cadangan bagi meningkatkan pasaran terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dengan membina sistem inovasi nasional. Saya setuju dan MITI setuju dengan cadangan Yang Berhormat Gombak.
Untuk makluman Yang Berhormat, kerajaan sedang dan akan sentiasa menyokong melalui penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan inovasi dengan memberi bantuan yang diperlukan oleh PKS di seluruh negara. Pelbagai bantuan juga disediakan oleh MITI dan agensi di bawahnya seperti bantuan pembiayaan, khidmat nasihat dan panduan perniagaan bagi meningkatkan rantaian nilai PKS.
Datuk Awang bin Hashim - Pendang
Yang Berhormat.
Tuan Liew Chin Tong
Saya juga hendak sebut sedikit tentang kolaborasi antara empat negeri.
Datuk Awang bin Hashim - Pendang
Celahan.
Tuan Liew Chin Tong
Seperti apa yang dicadangkan oleh MIDA― Yang Berhormat Gombak juga sebut tentang kerjasama di antara negeri-negeri dalam ucapan Yang Berhormat. Sila.
Dato' Seri Amirudin bin Shari - Gombak
Terima kasih. Yang Berhormat, menyentuh tentang hal tersebut, saya menyeru kepada Yang Berhormat MITI dan kementerian supaya memberikan ruang kepada pihak negeri mengenal pasti dan juga memperkasakan PKS-PKS yang sudah ada dalam rangkaian. Sebab, invest ataupun unit pelaburan negeri-negeri memang bertindak dan berkenalan ataupun berurusan secara terus dengan mereka. Kedua, pihak PBT, Yang Berhormat. PBT juga berurusan secara terus dengan mereka.
Justeru, mengenal pasti senarai-senarai ini dan potensi-potensi ini wajarnya diletakkan tanggungjawab kepada pihak negeri. Cumanya, pihak kementerian dan sebagainya harus juga menyediakan fund dan dana. Sebab, untuk PKS, dananya perlukan satu dana yang besar dan tidak boleh pada kadar yang dimiliki oleh negeri yang agak terhad. Hatta negeri Selangor pun saya percaya masih lagi hanya mampu membantu PKS untuk benda-benda yang kecil. Tidak sampai dapat membantu meningkatkan pengeluaran mereka, kemahiran mereka ataupun jaringan networking yang ada selain daripada melaksanakan program-program pameran dan juga lawatan negara luar. Terima kasih.
Tuan Liew Chin Tong
Terima kasih, Yang Berhormat Gombak. Saya setuju dengan pandangan Yang Berhormat Gombak.
Juga, MITI dengan MIDA telah cadang untuk mengadakan kolaborasi di antara Kerajaan Pusat bersama dengan Kuala Lumpur, negeri Selangor, Negeri Sembilan dan negeri Melaka supaya central region ini dapat koordinasi dari segi joint promotion dan juga dari segi pembangunan bersama dan serentak terutamanya di sektor-sektor terpilih termasuk aeroangkasa. Ini akan diusahakan dan saya harap kerjasama di antara peringkat persekutuan dengan negeri akan lebih erat selepas ini.
Dato’ Yang di-Pertua, saya...
Datuk Awang bin Hashim - Pendang
Yang Berhormat, Yang Berhormat.
Tuan Liew Chin Tong
Ya.
Datuk Awang bin Hashim - Pendang
Saya minta pencelahan sedikit.
Tuan Liew Chin Tong
Okey.
Datuk Awang bin Hashim - Pendang
Okey, terima kasih.
Tuan Liew Chin Tong
30 saat.
Datuk Awang bin Hashim - Pendang
Saya setuju dengan pandangan Yang Berhormat berkenaan kita perlu menjadi satu team kerajaan untuk kita membangunkan negara.
Jadi, saya tengok sektor-sektor yang penting, permintaan untuk skilled workers ini sangat tinggi sekarang ini. Jadi, saya harap MITI boleh bekerjasama dengan KPM untuk kita tengok― termasuklah aeronautika yang disebut tadi ini.
Tetapi, kita tengok sekarang macam mana yang berlaku di Kedah baru-baru ini.
Exco turun. Bila nama Exco ini turun, bila kita bab pendidikan ini, TVET ini kita letakkan agenda politik, jadi kita akan menggagalkan pembangunan negara. Jadi, saya minta...
Tuan Liew Chin Tong
Okey, terima kasih.
Datuk Awang bin Hashim - Pendang
Sebab, KPM telah bawa keluar surat melalui Jabatan Pendidikan Negeri. Kalau ada Exco datang, tidak boleh dilaksanakan program bersama antara MITI dengan KPM. Ini betul. Ini saya jumpa sendiri dengan Exco. Saya bercakap dengan dia sendiri seorang profesor.
Tuan Liew Chin Tong
Saya beralih ke isu industri kenderaan elektrik.
Seterusnya, Yang Berhormat Kubang Kerian, Yang Berhormat Machang dan Yang Berhormat Sibu telah membangkitkan isu kelestarian penggunaan kenderaan elektrik atau EV merangkumi ketersediaan dan kemudahan pengecas EV dan EV mampu milik untuk rakyat dan teknologi mengitar semula bateri.
Tuan Liew Chin Tong
Seperti mana para YB sedia maklum, selaras dengan sasaran yang ditetapkan dalam National Energy Transition Roadmap (NETR), kerajaan menyasarkan sekurang- kurangnya 20 peratus daripada jumlah jualan tahunan atau TIV setiap tahun pada 2030.
20 peratus EV pada tahun 2030, 50 peratus pada tahun 2040 dan 80 peratus EV pada tahun 2050. Transisi ini adalah sejajar dengan salah satu misi di bawah NIMP untuk memangkinkan EV sebagai pemacu pertumbuhan utama bagi memastikan pembangunan ekonomi yang lebih mampan pada masa hadapan.
Kerajaan akan terus menerajui usaha untuk membangunkan ekosistem rantaian bekalan EV tempatan. Syarikat-syarikat pengeluar automotif tempatan dalam perancangan bagi mengeluarkan kereta elektrik pada harga yang lebih kompetitif dan dijangka pengeluarannya pada tahun 2025.
Saya tahu, saya faham dalam Hansard, ada Ahli Parlimen yang katakan EV adalah kereta untuk yang kaya raya. Tetapi, ini adalah persepsi yang kerajaan ingin tukar.
Hasrat kerajaan ialah pada tahun 2025, kita akan ada pengeluaran tempatan EV dengan harga yang berpatutan dan harga kurang daripada RM100,000. Ini adalah hasrat kerajaan dan ini bukan terhad kepada Perodua atau Proton. Sesiapa jenama yang bersedia untuk mengeluarkan kereta di dalam negeri, di dalam Malaysia, CKD, ia akan dibenarkan untuk menjual kereta mereka di bawah harga RM100,000.
Ini supaya kita dapat menghasilkan dua objektif ataupun mencapai dua objektif.
Objektif pertama ialah kita hendak merakyatkan transisi hijau. Transisi hijau ini diperlukan dan kita ingin merakyatkan transisi hijau. Tetapi, dengan matlamat kedua secara serentak iaitu untuk membangun industri baharu. Kita perlukan transisi hijau tetapi kita juga ingin membangun industri baharu. Maka, kerajaan tidak bersedia untuk membuka had RM100,000 itu untuk tujuan ini.
Dari segi pengecas EV, sebelum ini kerajaan menumpu untuk menghasilkan 10,000 pengecas EV. Tetapi, angka 10,000 ini sebenarnya 1,000 DC charger dan 9,000 AC charger. Kerajaan telah memahami keadaan sekarang bahawa kerana negara kita ada banyak landed property, maka sebenarnya AC charger ini bukan tumpuan kita.
Tumpuan kita ialah untuk mewujudkan lebih banyak DC charger supaya range anxiety pengguna EV dapat dikurangkan dan lebih ramai rakyat boleh mengguna pakai EV untuk jarak panjang.
Tumpuan ini telah diputuskan dalam National EV Steering Committee Meeting dan akan diteruskan dan kajian akan diadakan supaya mengkaji adakah kita akan menaikkan sasaran DC charger, pengecas DC dari 1,000 untuk tahun 2025 kepada had ataupun sasaran yang lebih tinggi supaya kita dapat lebih banyak pengecas EV.
Saya juga dimaklumkan bahawa ada yang berpandangan bahawa subsidi yang telah diberikan kepada pemilikan EV tumpu kepada mereka yang lebih kaya raya. Ini sebenarnya subsidi ataupun insentif yang telah diberikan sebenarnya diputuskan oleh kerajaan terdahulu. Kerajaan sekarang hanya melancarkan skim pertama berkenaan dengan electrification ialah Skim Galakan Penggunaan Motosikal Elektrik ataupun MARiiCas dengan rebat sehingga RM2,400 untuk pembelian ataupun langganan motosikal elektrik. Ini adalah apa yang telah diumumkan, apa yang telah dilancarkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri oleh kerajaan ini.
Hala tuju kerajaan ini ialah untuk mewujudkan insentif untuk pemilikan EV bagi mereka yang pendapatan mereka tidak melebihi satu tahap. Dalam MARiiCas untuk motosikal elektrik, hadnya ialah RM120,000 setahun. Ini had pendapatan supaya mereka yang dapat pendapatan yang kurang daripada itu dapat insentif.
Untuk masa depan, kerajaan harap boleh dapat persetujuan daripada Kementerian Kewangan supaya pendekatan yang sama iaitu one-time subsidy ataupun insentif untuk menggalakkan penggunaan kereta elektrik.
Tuan Liew Chin Tong
Sekarang ini untuk motosikal, kita harap selepas ini boleh menggalakkan penggunaan kereta elektrik. Pendekatan inklusif yang digunakan ini diharap dapat
Tuan Liew Chin Tong
membantu kerajaan untuk merakyatkan transisi hijau dan mewujudkan serta membangunkan industri baharu.
Dato’ Yang di-Pertua, subjek yang akhir ialah berkenaan dengan ASEAN. Yang Berhormat Padang Besar telah membangkitkan isu berkenaan perdagangan serta peluang berkaitan sempena kepengerusian Malaysia bagi ASEAN pada tahun 2025.
Seperti sedia maklum, Malaysia akan mengambil alih tugas sebagai Pengerusi ASEAN daripada Lao PDR pada penghujung tahun 2024 dan seterusnya akan menjadi tuan rumah kepada mesyuarat-mesyuarat ASEAN untuk tahun 2025. MITI adalah koordinator untuk tonggak ekonomi ataupun economy pillar dan Malaysia diberikan tugas untuk menghasilkan ASEAN Community Post-2025 Vision ataupun akan dikenali sebagai ASEAN Community 2045 Vision.
Saya mengalu-alukan cadangan di kalangan Ahli-ahli Parlimen, supaya kita membina visi 20 tahun untuk ASEAN dan dalam konteks ASEAN, negara kita dapat berkembang pesat dan negara kita dapat mewujudkan kerjasama di antara negara kita dengan negara-negara lain. Akhirnya, izinkan saya sudahi dengan serangkap pantun.
Baju Melayu cantik berpelikat, Jangan dipakai bersama sutera, Ramadan mulia membawa berkat, Semoga makmur semua sejahtera. Saya akhiri dengan ucapan selamat menunaikan ibadah puasa dan marilah sama-sama kita mendoakan semoga ekonomi negara akan terus maju dan makmur.
Sekian, terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Terima kasih Yang Berhormat Menteri. Dipersilakan Menteri Kementerian Pertahanan untuk menjawab.
Dato’ Sri Saifuddin bin Abdullah - Indera Mahkota
Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua, peraturan mesyuarat.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Peraturan mesyuarat berapa tu?
Dato’ Sri Saifuddin bin Abdullah - Indera Mahkota
36(12). Saya baru membaca Hansard, penggulungan Timbalan Menteri Luar semalam. Saya nak minta petua sebenarnya daripada Tuan Yang di-Pertua. Saya berdiri sebagai bekas Menteri Luar dua kali.
Saya baca ayat dalam Hansard. “Kita tidak akan mengiktiraf Israel...” itu tak ada isu. “Kita hanya akan mengiktiraf Israel sekiranya Israel ini – apa? Sekiranya mereka mengakhiri kekejaman mereka dan kita akan dapat melihat berakhirnya dan begitu akhirnya...” Saya ada masalah dengan ayat ini. Ayat ini dengan – kalau saya guna bahasa Inggeris nya, this language tak pernah digunakan oleh Kerajaan Malaysia. Saya minta panduan apa yang perlu dibuat, adakah Kementerian Luar harus tarik balik sebab ayat ini damning dengan izin. Saya tak boleh benarkan ayat ini kekal dalam Hansard atau apa tindakan sepatutnya? Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Baik Yang Berhormat. Kalau kita lihat kepada 12(3) beberapa ingredients yang wujud di situ.
Pertama, it must be dengan izin, it must be uttered in this August House, satu. Nombor dua, ia menimbulkan dan boleh mengelirukan pandangan-pandangan Yang Berhormat yang berada di dalam Dewan ini. Ketiganya, bahawa kalau perkara itu telah ditegur masa dan ketika itu, seseorang Yang Berhormat mengucapkan, kemungkinan boleh diputuskan ketika dan masa itu. Ini Yang Berhormat telah membangkitkan satu perkara yang passed. Walau bagaimanapun berlaku di dalam August House ini adalah wajar – there are three options, ada tiga pilihan.
Satu, Yang Berhormat boleh baca 27(3). Satu, usul di bawah 17. Satu, usul di bawah 18. Saya cadangkan Yang Berhormat boleh abstrak apa yang telah dinyatakan itu.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Masukkan dalam usul, usulkan kepada Dewan. Itu sahaja yang saya boleh nampak. Baik?
Sekian terima kasih. Kita balik kepada Menteri Pertahanan.
Menteri Pertahanan - Dato’ Seri Mohamed Khaled bin Nordin
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua dan saya ambil kesempatan untuk ucapkan selamat berpuasa kepada semua Ahli-ahli Yang Berhormat yang beragama Islam yang berada di dalam Dewan ini yang berpuasa sepanjang bulan Ramadan ini.
Dato’ Yang di-Pertua, terlebih dahulu bagi pihak seluruh warga Kementerian Pertahanan dan Angkatan Tentera Malaysia, saya menjunjung kasih di atas penghargaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, kepada semua penjawat awam termasuk anggota Angkatan Tentera Malaysia yang telah mencurahkan khidmat bakti sehingga menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang aman dan makmur. Penghargaan daripada Baginda Tuanku yang juga merupakan Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia merupakan satu penghormatan dan semestinya akan menambah semangat serta mengukuhkan tekad warga kementerian dan ATM untuk terus menyumbang khidmat bakti demi tanah air tercinta.
Dato’ Yang di-Pertua, saya merakamkan ucapan terima kasih kepada semua lapan Ahli-ahli Yang Berhormat, Tanah Merah, Pendang, Tumpat, Ketereh, Tawau, Sri Gading, Lumut dan Tangga Batu yang telah membahaskan isu-isu berkaitan dengan Kementerian Pertahanan. Saya mengelompokkan isu-isu yang telah dibangkitkan dan akan menjawab secara bersama isu-isu yang saling berkaitan berdasarkan pecahan terma-terma utama.
Pertama, isu berkaitan perolehan serta pengurusan aset ATM. Dato’ Yang di- Pertua, Yang Berhormat Tanah Merah dan Lumut telah membangkitkan isu berkaitan pembinaan LCS. Yang Berhormat Tanah Merah bertanyakan tentang bilakah fasa pembinaan littoral combat ship ataupun LCS yang sebenar akan bermula dan sama ada peruntukan tambahan RM2 bilion di bawah perjanjian tambahan keenam akan turut digunakan bagi tujuan pelupusan hutang milik Boustead oleh syarikat Ocean Sunshine Berhad (OSB).
Manakala Yang Berhormat Lumut pula bertanyakan status kemajuan terkini bagi pembinaan LCS. Untuk makluman Yang Berhormat, kementerian telah memeterai kontrak tambahan keenam dengan syarikat Lumut Naval Shipyard ataupun LUNAS sebelum ini dikenali sebagai Boustead Naval Shipyard pada 26 Mei 2023. Tarikh ini juga merupakan tarikh permulaan semula kerja-kerja pembinaan LCS.
Status kemajuan semasa bagi keseluruhan elemen merangkumi reka bentuk, pembinaan, peralatan serta ujian yang berakhir pada Januari 2024 adalah sebanyak 67.57 peratus iaitu kurang kira-kira satu peratus daripada sasaran 68.77 peratus. Kementerian ini memaklumkan terdapat cabaran di peringkat awal semasa penyambungan kontrak LCS terutama berkaitan tempoh mobilisasi oleh pihak original equipment manufacturer ataupun OEM dan vendor dalam meneruskan kontrak ini.
Pihak Lumut Naval Shipyard di bawah Kementerian Kewangan kini sedang dalam fasa mitigasi untuk menangani cabaran tersebut dan pelaksanaan projek LCS dijangka kembali ke landasan dan jadual sasarannya pada bulan Jun 2024. Berdasarkan perancangan perbatuan atau dengan izin progress milestone yang terkandung dalam perjanjian tambahan ini, kapal LCS pertama dijadualkan tersedia pada bulan November 2024 untuk melalui Harbour Acceptance Test dan Sea Acceptance Trial oleh pihak TLDM dengan peratusan kemajuan kerja sebanyak 85.97 peratus.
Hanya selepas kesemua ujian ini selesai, kapal LCS pertama akan ditauliahkan oleh TLDM yang dijangkakan pada tahun 2026.
Menteri Pertahanan - Dato’ Seri Mohamed Khaled bin Nordin
Menjelang akhir 2024 ini juga, kapal LCS2 dan LCS3 akan menyiapkan kerja pembinaan dengan jangkaan peratusan kemajuan kerja masing-masing sebanyak 78.17
Menteri Pertahanan - Dato’ Seri Mohamed Khaled bin Nordin
peratus dan 61.48 peratus. Manakala, kemajuan kerja bagi LCS4 dan LCS5 pula masing- masing adalah dijadualkan sebanyak 53.40 peratus dan 44.11 peratus yang disumbangkan daripada elemen equipment dan block module yang telah dibina.
Berkenaan dengan kelulusan peruntukan tambahan oleh kerajaan sebanyak RM2.519 bilion, ia hanyalah bagi menampung perubahan spesifikasi LCS iaitu perubahan spesifikasi bagi Surface to Surface Missile, Decoy Launching System dan Integrated Platform Management System seperti yang diperlukan oleh Tentera Laut Diraja Malaysia.
Peruntukan ini tidak termasuk kos mengambil alih hutang syarikat.
Dato’ Sri Ikmal Hisham bin Abdul Aziz - Tanah Merah
Yang Berhormat Menteri. Terima kasih. Saya yalah saya akui sebenarnya saya agak skeptikal lah sebab saya tengok LCS ini dah jadi macam kanser. Bagi saya, saya nampak bleeding future.
Apa pun saya harap ia seperti Yang Berhormat Menteri maklum proses dan sebagainya.
Saya harap ia berjaya. Tetapi, kita tahu BNSB ini, dia ada hutang lapuk RM417 juta.
Barulah proses peralihan saham oleh syarikat yang disebutkan Syarikat Ocean Sunshine Berhad (DOSB) boleh, dapat dimuktamadkan.
Jadi, saya bimbang RM2.1 bilion ini boleh buat satu kapal. Jadi, saya bimbang dengan RM2.1 bilion kita bagi ini, kita bagi kepada – tidak, bukan untuk buat kapal tetapi hendak menyelesaikan hutang-hutang lapuk ini. Selagi hutang lapuk ini selesai, selagi itu lah projek ini saya nampak tak boleh di─ boleh started.
Yang Berhormat Menteri, ada bangkitkan tadi tentang iaitu syarikat baharu yang telah bertukar nama Lumut Naval Shipyard yang ataupun nickname dia, LUNAS. Pada asalnya LUNAS ini setahu saya adalah asalnya Syarikat Boustead Naval Shipyard Sendiri Berhad yang diberi kontrak pada asalnya. Akan tetapi masalahnya, orang yang sama.
Player dia tetap, belakang dia player yang sama. Jadi, oleh sebab LCS ini telah menjadi trust deficit kepercayaan orang tak percaya lagi. Jadi, kalau kita bagi─ kemudian Ocean Sunshine Berhad ini pula diketuai oleh KSP dengan KSU MINDEF yang mempunyai latar belakang yang tidak ada latar belakang tentang kapal dan kita bergantung totally kepada LUNAS yang merupakan orang yang sama dalam BNSB dan orang yang sama dah gagal.
Jadi, sebab itu apabila nama tukar, kebimbangan saya projek ini tetap gagal. Oleh itu Yang Berhormat MENHAN, saya harap sangatlah sebab apa tangguhan ini daripada satu tarikh, satu tarikh, satu tarikh, satu tarikh. Sebab itu memang betul, saya hari itu saya kata saya tak yakin. Sekarang ini daripada RM9.1 bilion kita bagi lagi RM2.1 bilion. Dah jadi RM11 perpuluhan berapa bilion, RM11.2 bilion. Daripada enam kapal kepada lima kapal dan saya tak nampaklah. Malah, Yang Berhormat Menteri Ekonomi kata dia pernah bercakap, saya rasa tiga kapal sahaja. Tetapi, saya nampak bukan tiga kapal, mungkin sebiji atau dua biji kapal sahaja.
Jadi, Yang Berhormat, itu sahaja. Terima kasih.
Tuan Ahmad Tarmizi bin Sulaiman - Sik
Yang Berhormat Menteri. Sik ada sikit soalan yang berkaitan. Jadi, mungkin jawab sekali nanti. Isu kelewatan LCS ini yang membelenggu kementerian ialah juga berpunca dari kelewatan menyiapkan detail design, dengan izin. Dalam Laporan PAC yang dibentangkan di atas meja kita ini juga menyebut, ada sedikit perbezaan dalam laporan bahawa MINDEF menyatakan 94.75 peratus, maknanya jumlah ataupun peratusan menyiapkan detail design itu tetapi di pihak Naval Group di Perancis baru capai 85 peratus.
Jadi, soalan saya bagaimana MINDEF melihat pasukan projek LCS ini perlu memberi penekanan dengan sesungguhnya supaya detail design ini dapat disiapkan paling lewatnya seperti dalam kontrak iaitu 26 Ogos 2024 pada tahun ini. Terima kasih Menteri.
Dato’ Seri Mohamed Khaled bin Nordin
Terima kasih Yang Berhormat. Tadi saya telah terangkan bahawa peruntukan tambahan RM2.519 bilion itu bukan untuk tujuan membayar hutang sebagainya. Tetapi, ia bertujuan untuk menampung perubahan spesifikasi. Syarikat LUNAS ini sekarang merupakan syarikat yang menggantikan walaupun mungkin tukar nama, tetapi sekarang ini merupakan syarikat yang diambil alih oleh Kementerian Kewangan. Walaupun dari segi pengurusan dan sebagainya adalah orang yang sama, tetapi masalah Boustead Naval Dockyard dahulu ialah dari segi soal
Dato’ Seri Mohamed Khaled bin Nordin
kewangan dan sebagainya. Bukannya dari segi soal tenaga kerja yang mahir dan seterusnya.
Jadi, walaupun mungkin LUNAS mengambil alih dan mengekalkan segala pengurusan dan tenaga kerja, tetapi mereka yang memang sebenarnya berkemahiran untuk jalankan kerja-kerja itu dan bukan mereka yang menyumbang kepada masalah kelewatan dan sebagainya. Jadi, dari segi ini seperti yang telah saya katakan dalam Parlimen ini, kemajuan kerja yang sehingga kini yang telah tercapai dijangka menjelang akhir 2024, mengikut semua kapal satu, dua, tiga, empat dan lima seperti yang telah saya nyatakan tadi.
Jadi, itu adalah komitmen yang kita sentiasa pantau dan pastikan, insya-Allah. Kalau zaman Yang Berhormat dahulu mungkin tak siap. Jadi, insya-Allah zaman kerajaan ini kita akan siapkan dan seperti saya kata, bermula bulan Jun ini dia akan, ataupun bulan Julai kita akan mulakan proses untuk diuji kapal-kapal ini dan sebagainya. Selama dua tahun untuk diuji berlayar dan sebagainya dan kemudian akan ditauliahkan.
Jadi, 2026 sama-samalah kita saksikan kerajaan ini dapat menyiapkan projek yang dahulu dikendalikan oleh Yang Berhormat.
Dato’ Sri Ikmal Hisham bin Abdul Aziz - Tanah Merah
Yang Berhormat. Saya simpati sebab ini legasi lama. Yang Berhormat terpaksa menanggung meneruskan. Saya harap kehebatan Yang Berhormat bolehlah projek ini dapat berjayalah, insya-Allah.
Sekarang ini dia dah ada new goal post 2026. Yang Berhormat juga menyatakan pada Jun atau Julai insya-Allah akan dimulakan. Tak apa. Kita akan tunggu. Baik. Inilah yang diberitahu oleh mantan-mantan sebelum ini. Sepatutnya bulan September, diubah kepada bulan November. Ditukar, tukar. Sekarang ini tarikh baharu Jun and Julai. Insya-Allah. Kita tunggu.
Sebenarnya Yang Berhormat, permasalahan bermula LCS ini bermula apabila mantan Menteri Pertahanan ketika itu mengubah reka bentuk LCS daripada Sigma kepada Gowind tanpa persetujuan daripada end user, TLDM. Saya rasa itu antara─ sebab itu saya mengharapkan di Kementerian Pertahanan ini pandangan end user itu sangat penting. Kalau tidak ia akan, ini lah yang akan berlaku. Terima kasih.
Dato’ Seri Mohamed Khaled bin Nordin
Terima kasih Yang Berhormat.
Kemudian, soalan mengenai design yang lewat. Sehingga hari ini, secara asasnya kelewatan untuk design adalah dalam 22 hari dan pihak LUNAS sedang, seperti yang telah saya katakan tadi, dalam fasa mitigasi untuk menangani kelewatan tersebut.
Dijangkakan ia kembali ke landasan jadual pelaksanaan projek, dijangka penghujung Jun 2024. Jadi, hanya 22 hari. The detail design itu lewat.
Jadi, insya-Allah sedang dibincang dengan pihak design dan kita percaya, ia akan dapat ditangani dengan baik.
Datuk Awang bin Hashim - Pendang
Yang Berhormat Menteri. Minta sikit.
Terima kasih Yang Berhormat Menteri. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Tadi disebut end user ini-lah masalah kita yang sebenarnya Yang Berhormat Menteri. Saya hendak sentuh berkenaan dengan, fasal end user ini. Kita tengok berkenaan dengan tender perolehan meriam. Ini aset juga. Aset tentera. Meriam 155mm self-propel howitzer dia panggil, SPH. Ini dibangkitkan oleh kerajaan─ oleh PH pada ketika itu masa menjadi pembangkang.
Datuk Awang bin Hashim - Pendang
Saya dapati benarkah sekarang ini MOF telah mengeluarkan LOI yang berjumlah RM805 juta kepada syarikat Global Komited iaitu anak syarikat Weststar yang dikatakan tiada dalam senarai, tetapi atas arahan sesuatu diberikan kepada syarikat Global Komited ini untuk pembelian EVA buatan Republik Czech yang menawarkan harga termahal yang melepasi siling MOF. Ini yang saya hendak bangkitkan, ini end user ini. Eva juga, ini dikatakan bertentangan dengan kehendak tentera darat yang memilih Caesar buatan Perancis yang mana harganya ia boleh diterima oleh semua pihak. Difahamkan juga, pihak tentera darat telah mengeluarkan surat bantahan di atas keputusan Kementerian Kewangan ini. Jadi, saya harap minta penjelasan daripada Menteri Pertahanan hari ini.
Datuk Awang bin Hashim - Pendang
Ini juga saya takut jadi projek gajah putih seperti mana produk StarStreak short- range iaitu sebuah peluru yang dibekalkan oleh Thales daripada British yang juga Global Komited, makna ada rekod dah. Pada tahun 2011, kontrak tersebut bernilai RM897 juta dan tidak digunakan sehingga kini serta mendapat ulasan negatif daripada Jabatan Audit Negara. StarStreak ini adalah peluru jarak dekat yang diluluskan pada tahun 2015.
Sekarang tidak boleh guna dan sekarang jadi projek gajah putih. Itu kita hendak tengok.
Jadi, adakah pembelian aset strategik dan pertahanan sebenarnya mengikut pilihan pengguna ataupun Weststar ataupun end user seperti mana yang terjadi kepada pembelian radar jarak jauh Thales baru-baru ini?
Saya hendak sebut lagi satu berkenaan dengan StarStreak ini iaitu peluru, sejenis peluru baru yang dibeli, yang lama dinamakan Starburst. Starburst ini dikontra dengan harga RM60 juta, tetapi tidak bayar duit RM60 juta itu kepada kerajaan. Dikontra dengan kenderaan four-by-four yang dihantar kepada MALBATT untuk digunakan oleh MALBATT.
Tetapi, MALBATT bila dibayar RM60 juta kepada — dibeli four-by-four kepada MALBATT, United Nations akan bayar balik kepada Kerajaan Malaysia dengan harga yang RM60 juta. Tetapi, tidak dibayar kerana four-by-four yang dibeli, yang ditukar kontra dengan StarStreak tadi ini yang berharga RM60 juta ini tidak mengikut specs. Ini saya minta penjelasan daripada Menteri.
Dato’ Seri Mohamed Khaled bin Nordin
Terima kasih Yang Berhormat Pendang. Secara detailed saya mungkin tidak dapat hendak beri makluman, tetapi saya percaya dan dimaklumkan bahawa semua proses-proses perolehan adalah mengikut standard operating procedure perolehan yang ditetapkan oleh kementerian serta mengikut peraturan dan pekeliling yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan. Tender proses melalui kementerian. Apa-apa keputusan akan dihantar kepada Kementerian Kewangan sebab itu merupakan peraturan dan pekeliling. Ini termasuklah soal howitzer yang memang sedang dalam proses perolehan. Jadi, belum muktamad, belum lagi muktamad.
Jadi, kita masih lagi sedang tunggu siapa akhirnya dan daripada mana kita akan beli peralatan itu. Begitu jugalah tentang pembekalan peluru yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat semasa perbahasan.
Yang Berhormat telah minta penjelasan adakah perolehan itu mengikut standard operating procedure yang ditetapkan oleh kementerian. Untuk makluman Yang Berhormat, berdasarkan perancangan perolehan tahunan tahun lepas 2023 — yang soal 2015 itu saya kena check, saya tidak pasti. Terdapat 26 senarai perbekalan peluru, perolehan peluru dan bahan letupan pada tahun lepas. Kesemua 23 PPT pada tahun 2023 telah dilaksanakan secara tender terbuka dengan nilai anggaran kontrak sebanyak RM391 juta. Baki tiga PPT yang tidak dapat dilaksanakan pada tahun 2023 telah dibawa ke tahun ini. Jadi bagi tahun ini, terdapat 41 projek perolehan-perolehan peluru tentera dan bahan letupan dengan nilai kontrak sebanyak RM464 juta dan perolehan-perolehan ini akan turut dilakukan secara tender terbuka dari semasa ke semasa mengikut keperluan.
Yang Berhormat Tanah Merah juga telah membangkitkan tentang pentauliahan semula dua kapal ronda TLDM iaitu KD Sri Sabah dan KD Sri Sarawak yang sudah berusia 50 tahun. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, terdapat beberapa kekangan aset yang dialami oleh TLDM masa kini. Malah, situasi semasa perairan rantau ini terus menyaksikan wujudnya ancaman berterusan. Sebagai sebuah negara maritim yang mempunyai sempadan perairan yang luas, Malaysia memerlukan aset yang mencukupi agar pasukan TLDM berupaya menjalankan tanggungjawab mengekalkan kedaulatan dan keselamatan perairan negara dengan baik. Setelah mempertimbangkan pelbagai faktor keperluan, TLDM mengambil pendekatan untuk melaksanakan proses pasang pulih ataupun refix dengan izin, secara menyeluruh. Pasang pulih atau refix ini merupakan satu pendekatan sementara yang melibatkan proses pembaikan menyeluruh termasuk badan kapal, sistem sokongan dan sistem dorongan yang membolehkan kapal melaksanakan tugas teras iaitu rondaan.
Terdapat beberapa hasil utama daripada pendekatan ini. Pertama, jangka hayat kedua-dua buah kapal KD Sri Sabah dan KD Sri Sarawak dapat dipanjangkan selama 10 tahun lagi. Ini bermakna kedua-dua kapal sesuai dan selamat untuk terus digunakan sehingga tahun 2034, insya-Allah. Kedua, pendekatan ini dapat membantu operasi serta
Dato’ Seri Mohamed Khaled bin Nordin
kesiagaan wilayah timur khususnya dalam menguruskan kekurangan aset. Saiz kapal yang kecil dan kelajuan yang tinggi membolehkan kedua-dua kapal tersebut terus melaksanakan tugas rondaan maritim dengan berkesan termasuk di kawasan perairan Sabah.
Seterusnya, Yang Berhormat Tumpat pula membangkitkan berkenaan dengan sejauh manakah Bahagian Siber dan Elektromagnetik Pertahanan ATM berperanan dalam liputan telekomunikasi yang melibatkan operasi ATM di kawasan persempadanan negara khususnya di sempadan Malaysia dan Thailand. Dalam pengoperasian ATM di sempadan Malaysia dan Thailand, ATM menggunakan peralatan komunikasi taktikal sebagai komunikasi utama bagi pasukan yang terlibat. Peranan Bahagian Siber dan Elektromagnetik Pertahanan adalah dalam menyediakan kelengkapan komunikasi seperti satellite X-Band dan government integrated radio network di semua post tactical operasi.
Tuan Yang di-Pertua, kedua, isu-isu kebajikan veteran ATM. Secara asasnya, isu- isu berkaitan dengan kebajikan veteran ATM telah dibangkitkan oleh Yang Berhormat Ketereh, Yang Berhormat Tawau, Yang Berhormat Tangga Batu dan juga Yang Berhormat Lumut. Secara rumusannya, isu-isu ini boleh dipecahkan kepada beberapa perkara. Pertama, kajian pelarasan pencen pesara ATM. Dato’ Yang di-Pertua, kerajaan kini sedang melaksanakan kajian penambahbaikan sistem saraan perkhidmatan awam.
Kajian penambahbaikan ini turut melibatkan skim perkhidmatan ATM yang dijangka akan dimuktamadkan dan dibentangkan pada suku kedua tahun 2024 semasa mesyuarat Jemaah Menteri.
Pada masa yang sama, Kementerian Pertahanan sedang berhadapan dengan tuntutan kes saman berkaitan pelarasan pencen kepada pesara ATM yang menamatkan perkhidmatan sebelum tahun 2013. Sekumpulan veteran ATM telah memfailkan satu saman pemula ke atas kerajaan pada 17 November 2022. Mahkamah Tinggi pada 5 Februari 2024 yang lalu telah membenarkan saman pemula tersebut dan memihak kepada plaintif. Pihak kerajaan melalui Jabatan Peguam Negara telah memfailkan notis rayuan pada 9 Februari 2024 dan pengurusan kes telah ditetapkan oleh mahkamah pada 9 Mei 2024. Oleh yang demikian, pihak kementerian mengambil pendirian untuk tidak mengulas secara terus isu ini memandangkan kes saman tersebut masih aktif dan sedang dalam perbicaraan. Tetapi yang pasti, saya memberi jaminan bahawa pihak kerajaan akan berlaku adil pada semua pihak.
Dato' Khlir bin Mohd Nor - Ketereh
Yang Berhormat Menteri. Terima kasih Yang Berhormat Menteri. Terima kasih kepada Dato’ Speaker. Sekarang ini berulang balik, berulang balik kes mahkamah, kajian, itu alasan dah lama. Saya dah bagi tahu semasa perbahasan hari itu, dan juga pada bulan Oktober hari itu. Saya bagi tahu dah.
Mengikut Perlembagaan Persekutuan, mengikut Akta Angkatan Tentera 1972, yang mana jelas MINDEF kena bayar. Kena buat pelarasan pencen.
[Timbalan Yang di-Pertua [Puan Alice Lau Kiong Yieng] **mempengerusikan Mesyuarat****] Tetapi yang saya tak faham nya, hari itu keputusan Mahkamah Tinggi menyatakan negligence ataupun kecuaian Majlis Angkatan Tentera. Kita tak boleh samakan Angkatan Tentera dengan perkhidmatan awam yang lain. Cuba tengok betul- betul Perlembagaan Persekutuan, Perkara 132, arm forces atas sekali. ATM atas sekali.
Siapa yang mengendalikan pentadbiran? Majlis Angkatan Tentera. Gaji ka apa ka semua Majlis Angkatan Tentera. Lepas itu kehakiman. Siapa Suruhanjaya Kehakiman?
Kemudian JPA ini tak terlibat langsung. Tengok. Kalau tak silap saya 139 Perlembagaan Persekutuan, jelas. Jadi kenapanya kita susah sangat lepas mahkamah, mahkamah, lepas mahkamah. Nak appeal buat apa? Fasal benda tu benda jelas. Itu hak veteran.
Satu lagi veteran ini, sekarang ni dah berumur— dah sayup dah umur. Dah senja dah. Veteran ini lagi 10 tahun dah tak ada, mati dah. Jadi, apa yang nak tunggu ni, nak appeal buat apa? Sedangkan benda jelas mengikut peraturan atau mengikut
Dato' Khlir bin Mohd Nor - Ketereh
perundangan kena bayar. Jadi, saya mohon sangatlah Yang Berhormat Menteri, mohonlah jangan jadi menteri-menteri macam dulu.
Tolonglah Menteri, kalau tak boleh secara— saya tahu masalah kekangan duit ka apa semua. Kita buat ansur-ansur, kita buat ansur-ansur. Jangan sampai dia mati, baru kita nak buat. Tak guna dah. Tak ada. Tak ada. Tak ada guna. Jadi, saya minta sangat Menteri tolonglah. Tolonglah Menteri. Saya merayu ni. Walaupun saya nampak bodoh merayu.
Tuan Wan Ahmad Fayhsal bin Wan Ahmad Kamal - Machang
[Berdiri]
Dato' Khlir bin Mohd Nor - Ketereh
Tetapi, demi veteran-veteran saya ni...
[Tepuk] ...jadi tolonglah Menteri. Selesaikan masalah ini segera. Yang lain saya tak penting. Saya nak itu sahaja. Sebab saya dah minta hari itu fasal elaun, fasal apa semua.
Tapi, selesai yang ini. Kesian dia ni. B40, 98 percent. Macam mana nak hidup di Malaysia ni? Tolonglah. Saya minta Menteri tak payah la buat appeal ka apa kah semua. Bagi tahu lah AG tak payah la appeal. Buat apa nak appeal? Benda tu hak dia, bayar sajalah bukan banyak pun. Bukan banyak.
Beberapa Ahli
Betul.
Dato' Khlir bin Mohd Nor - Ketereh
Bukan banyak. Betul tak?
[Disampuk] Tengok kawan-kawan saya belah sana pun banyak sokong saya.
[Dewan ketawa]
Tuan Sanisvara Nethaji Rayer a/l Rajaji - Jelutong
Saya sokong. Jangan ikut Menteri-menteri Perikatan Nasional. Saya sokong.
Dato' Khlir bin Mohd Nor - Ketereh
Tolong. Tolong.
Tuan Wan Ahmad Fayhsal bin Wan Ahmad Kamal - Machang
Sangkaan jahat ni. Yang Berhormat.
Dato' Khlir bin Mohd Nor - Ketereh
Jelutong, jangan cakap macam itu.
Tuan Wan Ahmad Fayhsal bin Wan Ahmad Kamal - Machang
Puasa. Puasa.
Kita puasa.
Dato' Khlir bin Mohd Nor - Ketereh
Okey. So, jadi saya minta sangat-sangatlah Menteri. Tolonglah. Dia orang dengar ni, saya dah Whatsapp semua dah kepada veteran- veteran. Dengar betul-betul apa saya nak cakap hari ini. Please. Itu saja Menteri. Terima kasih banyak
Tuan Wan Ahmad Fayhsal bin Wan Ahmad Kamal - Machang
Yang Berhormat Menteri, boleh saya mencelah? Baik. Terima kasih Yang Berhormat Menteri.
Tuan Yang di-Pertua, terima kasih Ketereh. Bersangkut paut dengan Ketereh, berkenaan dengan veteran kita dan kalau cakap tentang veteran, kita tidak boleh lari daripada persoalan LTAT dan Boustead yang sedang hangat diperkatakan pada hari ini.
Umum diketahui, bukan salah Yang Berhormat Menteri. Ini isu legasi. Tapi Yang Berhormat Menteri, bila mana berlaku peletakan jawatan orang-orang penting dalam Boustead baru-baru ini, pasaran dan juga masyarakat bertanya apa sudah jadi dengan pelan penstrukturan Boustead di bawah Menteri yang baharu. Jadi, kami ada banyak persoalanlah.
Bagaimana— apakah pelan perancangan yang dibuat oleh mantan Menteri yakni sekarang ini Menteri Luar yang juga Timbalan Presiden UMNO bakal diteruskan oleh Yang Berhormat Menteri ataupun apakah Menteri ada perancangan baharu yang ingin mengekalkan Boustead? Walaupun sebenarnya yang kami difahamkan Boustead hendaklah dipisahkan daripada LTAT kerana LTAT mendapat kesan yang cukup besar daripada kerugian Boustead. Kalau Tanah Merah kata LCS tu kanser, Boustead— minta maaf bukan syarikat tu tapi salah guna kuasa, salah ketirisan yang berlaku dulu oleh Menteri-menteri UMNO dulu. Menteri-menteri UMNO dulu ye Jelutong, adalah lebih berbahaya kanser kepada veteran kita.
Tuan Wan Ahmad Fayhsal bin Wan Ahmad Kamal - Machang
Jadi, saya nak tanya kepada Menteri, apa sebenarnya jalan keluar Yang Berhormat Menteri nak buat kepada LTAT dan Boustead kita ni?
Dato' Seri Mohamed Khaled bin Nordin
Terima kasih lah kepada kedua-dua ahli Yang Berhormat. Saya jawab dulu mengenai veteran yang banyak...
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Yang Berhormat Menteri masih perlu masa tambahan?
Dato' Seri Mohamed Khaled bin Nordin
Erm...
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Lima minit?
Dato' Seri Mohamed Khaled bin Nordin
Eh tak boleh lima minit.
Dato’ Sri Ikmal Hisham bin Abdul Aziz - Tanah Merah
Menteri Pertahanan Negara 10 minit.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
10 minit.
Dato' Khlir bin Mohd Nor - Ketereh
Saya minta 30 minit lagi Speaker.
[Dewan ketawa]
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
[Tidak jelas]
Dato' Seri Mohamed Khaled bin Nordin
Okey. Yang Berhormat Puan Yang di- Pertua, mengenai soal sama ada Majlis Angkatan Tentera tertakluk kepada Arahan Pekeliling JPA dan sebagainya yang menjadi asas pada hujah yang dibuat oleh Yang Berhormat Ketereh. Kita telah dapatkan pandangan dari Jabatan Peguam Negara, kita Parlimen ini memang tempat untuk kita mempunyai pandangan-pandangan berbeza. Apa pun hasil pertentangan pandangan, kita berpandukan kepada Perlembagaan dan undang- undang yang kita sama-sama buat dalam Dewan yang mulia ini. Jadi, atas sebab itulah, kita tidak boleh lari daripada hakikat itu.
Soal kita nak main galeri di luar itu, saya serahkan Yang Berhormat. Tapi, daripada segi tafsiran undang-undang sama ada hujah Yang Berhormat, Majlis Angkatan Tentera tak perlu dengar arahan-arahan dan pekeliling daripada JPA. Pandangan dari Jabatan Peguam Negara menyatakan bahawa Majlis Angkatan Tentera tertakluk kepada Arahan Pekeliling atau apa-apa dasar berkenaan dengan perkhidmatan awam yang dikeluarkan agensi pusat seperti JPA dan Perbendaharaan dari semasa ke semasa.
Ini kerana pertama ada beberapa asas. Di bawah Perkara 132(1) Perlembagaan Persekutuan. ATM merupakan sebahagian daripada perkhidmatan awam dan di bawah Perkara 132(2A) Perlembagaan, anggota perkhidmatan awam memegang jawatan selama diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong. Semua perkhidmatan awam adalah tertakluk kepada undang-undang dan pelbagai pekeliling arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan. Perkara 133 Perlembagaan dan juga beberapa kes seperti Pengarah Pelajaran Wilayah Persekutuan and others lawan Lu Ting Yi dan sebagainya.
Kedua, berhubung dengan persepsi bahawa Majlis Angkatan Tentera mempunyai kuasa mutlak memandangkan majlis di bawah kuasa am Yang di-Pertuan Agong, Jabatan Peguam Negara berpendapat bahawa persepsi tersebut adalah tidak tepat. Ini kerana kuasa Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 41 hendaklah dibaca secara harmoni dengan Perkara 132(1) Perlembagaan Persekutuan yang juga telah ditaksirkan oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes Danaharta Urus Sdn. Bhd. lawan Kekatong Sdn. Bhd..
Dan begitu juga, semua peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan sama ada Yang Berhormat gunakan Perkara 41 dan 137 bersama-sama dengan soal perkara 132, semua peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan mempunyai kedudukan yang sama dan perlu diberi kesan sewajarnya.
Jadi, atas asas itu, rayuan telah dibuat...
Dato' Khlir bin Mohd Nor - Ketereh
[Berdiri]
Dato' Seri Mohamed Khaled bin Nordin
...Dan kita tunggulah keputusan mahkamah untuk tentukan supaya secara muktamad pada akhirnya sama ada apa yang diminta untuk kita menyelaras itu dapat dilakukan ataupun tidak. Dia...
Dato' Khlir bin Mohd Nor - Ketereh
Bagi saya mencelah. Macam ini Menteri.
Jadi, apa-apa saja pun maknanya kita tertakluk pada undang-undang, okey. Tetapi soalnya sekarang kebajikan. Mereka ini dah tua-tua. Bukan banyak pun kerajaan nak habis kalau nak banding dengan LCS tu. Jauhlah. LCS tu dah makan duit rakyat dah banyak tetapi yang ni orang dah— dah orang kata lagi 10 tahun dah tak ada dah. Jadi, boleh tak kita bagi chance-lah sikit kepada veteran ni?
Dato' Khlir bin Mohd Nor - Ketereh
Bagilah, dia berjuang lama dalam group itu pula nya 1,786 cacat anggota. Tak boleh ke kita bayar sikit-sikit dulu. Bagilah kat veteran merasa benda itu. Kalau Yang Berhormat pergi jumpa veteran yang tua-tua ini kalau mungkin pergi ke kawasan saya kah saya akan tunjuk macam mana seksanya mereka hidup. Jadi saya harap benar-benarlah bincanglah balik dengan AG kah siapa kah, tak payahlah nak appeal, appeal buat apa?
Sekarang ini kita bayar ikut kemampuan kita. Setakat yang kerajaan mampu macam mana buat slow, slow.
Kesianlah kat veteran ini. Saya tahu kalau nak ikut undang-undang ini tak menang kita, kerajaan yang menang. Macam-macam dia boleh buat. Tetapi saya mohon sebagai veteran Angkatan Tentera bekas veteran 40 tahun dengan tentera berkhidmat untuk negara, saya mohon untuk Yang Berhormat Menteri yang saya hormati dalam Dewan ini tolonglah saya pada kali ini. Kalau tidak kalau saya mati sekali sekarang ini mata saya tak pejam rapat. Saya tak ada masa dah, lagi tiga tahun lagi saya suara ini dah tiada dah.
Suara ini dah tidak ada dah, tolonglah Menteri.
Dato’ Sri Ikmal Hisham bin Abdul Aziz - Tanah Merah
Yang Berhormat Menteri menyokong Yang Berhormat Keterehlah. Tentera ini kerjaya tentera tak sama dengan orang awam.
Dato' Seri Mohamed Khaled bin Nordin
Saya masa tinggal sikit. Kita tidak akan ke mana-mana.
Dato’ Sri Ikmal Hisham bin Abdul Aziz - Tanah Merah
Sebab tentera ini mereka bekerja 24 jam standby 24 jam, awam tidak. Jadi saya fikir-fikir betullah kasihanlah atas prihatinan terima kasih.
Dato' Seri Mohamed Khaled bin Nordin
Ya. Kita bukan soal kalau bawa mahkamah kerajaan akan menang. Banyak kes juga mahkamah kerajaan tak menang pertama. Kedua, mahkamah dan kerajaan dua perkara yang berasing.
Mahkamah adalah bebas daripada kerajaan. Atas sebab itulah kita minta mahkamah supaya secara muktamad, supaya lain kali dalam Dewan Yang Berhormat tak payah bercakap dengan suara dan nada yang tinggi sebagainya kerana dah muktamadkan soal ini dan kita harap.
Dato' Khlir bin Mohd Nor - Ketereh
Apa pula nada-nada tinggi ini? Jangan cakap macam itulah. Jangan cakap macam itulah please lah. Saya cuma nak minta rayuan saja dengan nada itu apa salahnya?
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Yang Berhormat Ketereh sila duduk.
Dato' Seri Mohamed Khaled bin Nordin
Itu sebabnya saya berkata begitu sebab kita nak muktamadkan. Jadi atas sebab itulah kita pilih mahkamah sebagai badan yang bebas. Jadi Puan Yang di-Pertua, kedua isu pelarasan semula pencen hilang upaya bagi anggota veteran yang cedera semasa dalam perkhidmatan. Menyedari hakikat bahawa kadar pembayaran hilang upaya yang diguna pakai sekarang adalah tidak sepadan dengan keadaan ekonomi semasa, kementerian telah menyemak kesemua kadar-kadar tersebut bagi mengambil kira semua komponen faedah hilang upaya iaitu pencen hilang upaya, ganjaran hilang upaya, elaun pelajaran, dan elaun layanan sentiasa
Dato' Seri Mohamed Khaled bin Nordin
dengan menambah baik syarat dan penambahbaikan kadar mengikut formula time value of money. Kertas cadangan ini telah dibentangkan dan diluluskan oleh Majlis Angkatan Tentera pada 24 Oktober 2023 dan kini kementerian sedang menyediakan memorandum Jemaah Menteri berkaitan cadangan tersebut bagi mendapatkan ulasan agensi-agensi pusat sebelum diangkat untuk pertimbangan dan kelulusan kerajaan. Dalam semakan ini, antara perkara yang difokuskan oleh kementerian adalah untuk menaikkan kadar pencen hilang upaya agar lebih sepadan dengan keperluan semasa. Walau bagaimanapun, buat masa sekarang selain pencen dan faedah hilang upaya, kesemua penerima pencen hilang upaya ini sebenarnya turut layak untuk menerima bantuan dan menikmati kemudahan berikut, perkhidmatan hemodialisis, pemberian ubat, alat ortopedik dan implan, alat pendengaran, mendapatkan rawatan perubatan kanta mata, oxygen concentrator, rawatan IJN, alat rawatan jantung, tuntutan perjalanan perubatan, perbekalan peralatan pesakit dan sebagainya.
Ketiga adalah cadangan pemberian elaun bulanan sebanyak RM500 kepada penerima Pingat Jasa Malaysia. Secara dasarnya dan seperti yang termaktub dalam warta kerajaan, pengurniaan PJM ini tidak membawa kepada pemberian sebarang elaun kenangan. Namun demikian, kerajaan pada tahun 2020 dan 2021 telah memberikan bayaran secara one-off RM500 kepada 121,816 penerima termasuk balu, duda sebagai sagu hati dengan implikasi kewangan sebanyak RM66 juta.
Untuk tahun ini kerajaan tidak mempunyai perancangan untuk membuat bayaran yang sama. Walau bagaimanapun, selain pemberian elaun bulanan yang dicadangkan tersebut, para penerima Pingat Jasa Malaysia pada masa ini adalah berkelayakan untuk menikmati segala perkhidmatan dan kemudahan berikut tertakluk kelayakan dan kesesuaian;
(i) Bantuan Sara Hidup sebanyak RM300 sebulan untuk membantu meringankan kos sara hidup; dan
(ii) Bantuan persekolahan sebanyak RM500 untuk sekolah rendah dan RM700 untuk sekolah menengah membantu penyediaan kemasukan ke sekolah.
Tuan Haji Bakri bin Jamaluddin - Tangga Batu
Menteri, Tangga Batu minta mencelah sikit. Dalam perbahasan saya tahun lepas kalau tak salah saya kita ada lebih kurang 40,000 lagi veteran tentera yang boleh dapat pingat ini. Tapi dengan kita bagi 2,000, 3,000 setahun mungkin kita perlukan lebih kurang 15,16 tahun. Jadi saya nak tahu apakah tindakan daripada pihak MINDEF untuk selesaikan masalah ini, terima kasih.
Dato' Seri Mohamed Khaled bin Nordin
Terima kasih. Kita ada cadangan untuk turunkan kuasa kepada setiap kem untuk lakukan majlis penyampaian. Jadi kita sedang berusaha untuk menyempurnakan seberapa ramai yang boleh supaya akhirnya semua akan mendapat Pingat Jasa Malaysia tersebut. Kita berusahalah kita cuba. Selain itu bantuan kemasukan ke IPT...
Dato’ Sri Ikmal Hisham bin Abdul Aziz - Tanah Merah
Yang Berhormat Menteri, masa dah sangat sikit, boleh tak lepas ini pasal LTAT pula? Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Masa sudah tamat.
Sila gulung Menteri.
Dato' Seri Mohamed Khaled bin Nordin
Okey. Saya gulung kepada soal – saya tak dapat nak sentuh aspek kerjaya.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Bagi jawapan bertulis.
Dato' Seri Mohamed Khaled bin Nordin
Yang YB Ketereh ada bangkitkan ataupun PERHEBAT. Tapi apa pun saya ingin nyatakan bahawa untuk veteran kerajaan kali ini di bawah Kerajaan Perpaduan bantuan kita meningkat peruntukannya lebih daripada yang diberikan dahulu.
Selepas mengambil alih kerajaan, Kerajaan Perpaduan telah meningkatkan peruntukan kepada Jabatan Hal Ehwal Veteran. Pada mulanya RM118 juta pada tahun
Dato' Seri Mohamed Khaled bin Nordin
lepas, tapi pada tahun ini peruntukan ini telah terus digandakan secara signifikan kepada RM279.2 juta iaitu peningkatan sebanyak RM160 juta bersamaan dengan 135 peratus kenaikan. Itu yang dilakukan oleh kerajaan dan penggandaan peruntukan yang besar ini menjurus kepada penyaluran Bantuan Sara Hidup kepada veteran dan sebagainya. Jadi, saya gulung dari segi soal isu Lembaga Tabung Angkatan Tentera. Yang Berhormat Tanah Merah dan sebentar tadi Yang Berhormat daripada Machang telah menyentuh tentang sama ada pelan penstrukturan LTAT seperti yang digariskan dalam pelan strategik akan diteruskan oleh kepimpinan kementerian sekarang.
Saya telah pun maklumkan semasa Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri pada 27 Februari 2024 baru-baru ini, iaitu pihak kementerian LTAT dan syarikat-syarikat pelaburan yang terlibat sedang memperhalusi rancangan penstrukturan ini bagi mencapai pendekatan yang menyeluruh dan juga inklusif. Saya juga telah tegaskan bahawa pihak saya dan kementerian tidak mempunyai masalah dan halangan dengan pelan strategik yang telah dibangunkan. Kita sememangnya menyokong pelaksanaan pelan tersebut.
Cuma perkara yang ditegaskan adalah untuk LTAT memastikan kepentingan dan kesejahteraan sosioekonomi warga ATM terus terjamin dan selamat dan agar LTAT tidak memilih jalan pintas dengan menjual syarikat-syarikat strategik atau menghilangkan pegangan signifikan LTAT dalam syarikat-syarikat strategik. Mungkin menyelesaikan isu kecairan dan sebagainya, tetapi ia hanya memenuhi matlamat jangka pendek melalui penjualan aset. Tetapi dari segi jangka panjang untuk mendapat dividen secara sustainable dengan izin mampan, ia mungkin akan berhadapan dengan masalah. Jadi itu pendekatan yang kita ambil.
Dato’ Sri Ikmal Hisham bin Abdul Aziz - Tanah Merah
Yang Berhormat Menteri sebenarnya...
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Masa sudah tamat.
Dato’ Sri Ikmal Hisham bin Abdul Aziz - Tanah Merah
... apa jua yang dibuat, cadangan struktur ini sebenarnya kita nak kan pencarum mendapat dividen yang Yang Berhormat Menteri sebutkan sustainable. Tapi maksud saya boleh tak Yang Berhormat Menteri memberi jaminan bahawasa kadar jaminan iaitu dividen 5 percent ini dapat kita beri kepada pencarum-pencarum? Boleh tak Yang Berhormat Menteri bagi jaminan ya supaya apa yang dilakukan setiap tahun pencarum mendapat sekurang-kurangnya 5 persen kadar dividen. Terima kasih.
Dato’ Seri Mohamed Khaled bin Nordin
Saya percaya tak ada siapa boleh beri jaminan macam itu. Saya boleh beri jaminan pastikan semua syarikat berjalan dengan baik, tadbir urusnya baik, dia transparent, dia accountable, tidak ada ketirisan, tidak ada kebocoran supaya ada jaminan dividen dibuat oleh semua syarikat yang dilabur oleh LTAT. Dan dengan demikian LTAT boleh umumkan dividen yang munasabah bagi pencarum. Jadi tidak ada Menteri, tidak ada siapa pun yang boleh jamin setiap tahun dapat berapa banyak dividen. Minta maaf Yang Berhormat.
Jadi itu sajalah Dato’ Yang di-Pertua. Saya mengakhiri penggulungan ini dengan mengambil kesempatan sekali lagi mengucapkan banyak terima kasih kepada Ahli-ahli Yang Berhormat yang telah membangkitkan isu-isu mengenai kementerian ini. Saya merakamkan penghargaan kepada setiap mereka yang telah memberi kerjasama rapat kepada Kementerian Pertahanan dalam melaksanakan pelbagai bentuk inisiatif bagi memastikan kedaulatan, keutuhan wilayah dan kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara.
Sekian, terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Terima kasih Yang Berhormat Menteri. Saya jemput Yang Berhormat Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi untuk menjawab.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi - Tuan Chang Lih Kang
Terima kasih Puan Timbalan Yang di-Pertua. Salam sejahtera, selamat petang dan salam Malaysia
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi - Tuan Chang Lih Kang
MADANI. Kepada rakan-rakan yang beragama Islam, saya ingin ucapkan selamat menunaikan ibadah berpuasa.
Terlebih dahulu Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) merafak sembah ucapan tahniah kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar atas pemasyhuran sebagai Seri Paduka Baginda Yang di- Pertuan Agong yang ke-17. Mari kita sama-sama mendoakan semoga Baginda Tuanku sentiasa dikurniakan kesihatan dan kebijaksanaan dalam menaungi kerajaan serta negara supaya Malaysia mampu setara menandingi kemajuan sains, teknologi dan inovasi di persada dunia.
Patik juga ingin merafak sembah Ucapan Menjunjung Kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada Seri Paduka Baginda yang di-Pertuan Agong ke-16, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Ampuan Pahang, Tuanku Hajah Azizah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Al-Mutawakil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj. Sesungguhnya MOSTI telah menyaksikan keprihatinan, keadilan dan kebijaksanaan Tuanku berdua memayungi rakyat sepanjang tempoh lima tahun pemerintahan. Dirgahayu Tuanku.
Puan Timbalan Yang di-Pertua, saya juga ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada lapan orang Ahli Yang Berhormat yang telah mengambil bahagian dalam perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja iaitu Yang Berhormat Kemaman, Yang Berhormat Ledang, Yang Berhormat Pasir Mas, Yang Berhormat Bangi, Yang Berhormat Temerloh, Yang Berhormat Bentong, Yang Berhormat Bagan Serai dan Yang Berhormat Kuala Kedah.
Seterusnya, ingin saya menyatakan bahawa hala tuju MOSTI sekarang lebih tersusun di mana saya telah pun menetapkan lima keutamaan teknologi yang perlu menjadi keutamaan MOSTI bagi tahun 2024 termasuk teknologi kecerdasan buatan (AI) dan juga teknologi berkaitan dengan pertanian.
Jadi bagi menyentuh pandangan Yang Berhormat Kemaman supaya kerajaan menentukan keutamaan pembangunan teknologi strategik dalam penetapan hala tuju sains dan teknologi selaras dengan polisi ekonomi negara. Saya memberi jaminan bahawa MOSTI telah mengenal pasti dan menetapkan hala tuju pelaksanaan pelbagai inisiatif sains, teknologi dan inovasi berada pada landasan yang tepat dan selaras dengan perkembangan politik, sorry, perkembangan ekonomi semasa.
Untuk makluman Ahli-ahli Yang Berhormat, MOSTI telah merangka beberapa pelan hala tuju bagi pembangunan teknologi terutama bidang-bidang teknologi baharu muncul seperti teknologi kecerdasan buatan (artificial intelligence) dan blockchain sehingga tahun 2025 dan kini dalam perancangan untuk menggubal kesinambungan pelan tersebut sehingga tahun 2030 supaya inisiatif pelan sedia ada dapat terus dilaksana dan mencapai sasaran yang ditetapkan.
Di samping itu, MOSTI juga bertanggungjawab dalam merangka governance dan kod etika AI (artificial intelligence governance and ethics - AIGE) yang akan dilancarkan pada suku tahun kedua tahun ini. AIGE ini akan melengkapi usaha pengukuhan tata kelola perundangan dan etika untuk mengawal selia AI. Dalam hal ini, pembangunan bakat AI juga turut diberi penekanan penting melalui kerjasama dengan agensi kerajaan dan pemain industri dalam negara.
Seterusnya, bagi menjawab pertanyaan Yang Berhormat Ledang dan Yang Berhormat Pasir Mas terutamanya dalam aspek kawalan, pemantauan dan adaptasi teknologi AI dalam negara. Kerajaan memandang serius isu ancaman teknologi AI dan implikasi terhadap kesejahteraan awam. Kaedah perundangan untuk menangani ancaman AI adalah salah satu daripada mekanisme kawal selia teknologi AI, selain pembangunan standard, kod etika, pengauditan serta pendidikan program kesedaran.
Seperti yang telah saya maklumkan, pembangunan garis panduan good governance dan etika AI mengandungi tujuh prinsip AI yang bertanggungjawab terhadap tiga golongan sasar iaitu orang awam, penggubal dasar dan penyedia teknologi yang menjadi asas kepada pembangunan garis panduan ini.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi - Tuan Chang Lih Kang
Tujuh skop, tujuh prinsip AI yang bertanggungjawab termasuk;
(i) keadilan,
(ii) kebolehpercayaan, keselamatan dan kawalan,
(iii) privasi dan keselamatan,
(iv) keterangkuman,
(v) ketelusan,
(vi) akauntabiliti dan mengejar kemaslahatan dan kebahagiaan manusia.
Pembangunan garis panduan ini merangkumi pelbagai proses dan melibatkan pelbagai pemegang taruh. Ini termasuk proses konsultasi awam yang selesai dilaksanakan pada 8 Mac 2024 yang lalu. MOSTI optimis dengan penggubalan garis panduan yang menyeluruh dan diikuti oleh pematuhan kepada prinsip yang dibangunkan.
Garis panduan ini akan dapat mengurangkan risiko-risiko berkaitan penyalahgunaan AI di negara ini. Untuk makluman Ahli-ahli Yang Berhormat jua, pada masa ini pemantauan dan kawal selia ke atas teknologi digital seperti AI ini masih berada di bawah akta dan perundangan sedia ada seperti Akta Komunikasi dan Multimedia, Akta Perlindungan Data Peribadi, Akta Transaksi Elektronik dan lain-lain.
Seksyen 233, Akta 588 iaitu Akta Komunikasi dan Multimedia misalnya adalah terpakai sekiranya sesuatu alatan atau teknologi AI tersebut disalahgunakan bagi penghasilan apa-apa kandungan lucah, sumbang, palsu, mengancam atau jelik sifatnya.
Mengenai adaptasi teknologi pula, MIMOS di bawah MOSTI sedang meneroka kerjasama dengan syarikat-syarikat berkaitan bagi mengguna pakai teknologi AI yang sedang dibangunkan.
Selain itu, MOSTI juga turut terlibat dalam memperkenalkan teknologi ini melalui program-program jerayawara dan slot-slot rancangan di media elektronik dan televisyen seperti Rancangan Selamat Pagi Malaysia dan Bicara Naratif di Radio Televisyen Malaysia (RTM).
Bagi pandangan Yang Berhormat Bangi terhadap pengwujudan satu jawatankuasa ataupun task force merentasi kementerian bagi isu-isu berbangkit AI, MOSTI mempunyai satu jawatankuasa dengan keahlian yang merentasi pelbagai kementerian dan agensi iaitu Jawatankuasa Pemandu Blockchain dan AI Negara
(NBAIC).
Antara fungsi jawatankuasa ini adalah sebagai satu platform kolaborasi antara kerajaan, ahli akademik, industri dan persatuan untuk bersama-sama membangunkan, mempromosi, mengadaptasi teknologi Ai dalam negara dan membincangkan isu-isu yang timbul berkaitan Blockchain dan AI.
Antara keahlian jawatankuasa ini termasuk MOSTI, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Kementerian Pelaburan Perdagangan dan Industri (MITI), Kementerian Digital, KESUMA, Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Pendidikan Malaysia, Kementerian Pendidikan Tinggi, Kementerian Kewangan, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Kementerian Luar Negara, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, Kementerian Ekonomi dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup. Jumlahnya, 12 kementerian terlibat.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi - Tuan Chang Lih Kang
Seterusnya, Puan Timbalan Yang di-Pertua, saya juga ingin menyentuh tentang pembangunan teknologi dan pengaplikasian teknologi pertanian seperti mana yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Temerloh, Yang Berhormat Betong dan Yang Berhormat Bagan Serai.
Selaras dengan Dasar Bioteknologi Negara (DBN) 2.0, MOSTI memfokuskan kepada pembangunan industri bioteknologi dalam tiga bidang utama iaitu bioteknologi pertanian dan keterjaminan makanan, bioteknologi penjagaan kesihatan dan kesejahteraan serta bioteknologi perindustrian dan ekonomi kitaran. Ketiga-tiga bidang
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi - Tuan Chang Lih Kang
ini adalah teras utama DBN 2.0 bagi membangunkan negara bio-inovasi berteknologi tinggi menjelang tahun 2030. Oleh itu, elemen pembangunan teknologi pertanian sememangnya menjadi salah satu agenda pembangunan di bawah MOSTI.
Bioeconomy Corporation bertanggungjawab untuk melaksanakan objektif DBN 2.0 dan bertindak untuk mengenal pasti cadangan nilai bioteknologi dan menyokong usaha ini melalui perkhidmatan pembangunan dan bantuan kewangan.
Melalui program Pemecut Berasaskan Bio (BBA), pelbagai aktiviti bimbingan dan sokongan ditawarkan kepada syarikat pemula dan perusahaan kecil sederhana (PKS) berasaskan bio bagi merapatkan jurang seperti penerapan dan penggunaan teknologi, kemahiran, kewangan, kawal selia dan kebolehpasaran produk serta membolehkan PKS menaik taraf kepakaran dan menjadi syarikat yang matang dan mengguna pakai teknologi.
Agensi Nuklear Malaysia pula telah berjaya menghasil dan mengkomersialkan penemuan-penemuan baharu. Antaranya, empat jenis bio baja termasuk Bioliquifert, GoGrow, BioNPK, Migrofas M99 dan Bioliquifert M100 dan penggalak tumbuhan Oligochitosan yang diaplikasikan dalam meningkatkan kadar pertumbuhan dan hasil tanaman dengan pengurangan penggunaan baja kimia, seterusnya menambah baik kesuburan tanah.
Selain itu, Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) telah menghasilkan beberapa inovasi dalam sektor pertanian dengan mengadaptasikan teknologi pertanian moden iaitu pertanian tepat ataupun precision farming melalui penggunaan imej satelit dan Sistem Maklumat Geografi (GIS). MYSA telah memulakan kajian awal bersama pakar AI dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam membangunkan model pintar MakGeoPadi berasaskan AI deep learning untuk kerja-kerja pengemaskinian keluasan tanah padi secara automatik. Ini dapat meningkatkan kecekapan pengoperasian sistem dan membantu agensi-agensi pertanian mendapatkan maklumat terkini keluasan tanah padi negara dengan lebih cepat dan tepat.
Berkaitan dengan saranan Yang Berhormat Betong dalam pengaplikasian teknologi blockchain untuk memudahkan pengesanan dan memastikan ketelusan dalam rantaian bekalan makanan, Malaysia adalah negara pertama di dunia yang menggunakan teknologi blockchain dalam pengurusan vaksin Covid-19 semasa pandemik pada tahun 2021. Teknologi blockchain ini digunakan untuk fungsi track and trace, dengan izin, vaksin dari pintu masuk negara sehingga ke penerima vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV).
Susulan daripada kejayaan tersebut, teknologi blockchain telah mula digunakan dalam dua projek rintis baharu iaitu, yang pertama, sistem Authorised Economic Operator
(AEO) berasaskan blockchain di bawah kendalian Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan sistem pengesahan daging import halal yang dikendalikan bersama oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dan MOSTI. Kedua-dua sistem ini masih berada di fasa pembangunan dan dijangka siap pada suku pertama tahun 2025 untuk AEO, manakala sistem pengesahan daging import halal pada suku kedua tahun 2025.
Manakala melalui MIMOS pula, sebuah projek rintis kebolehkesanan minyak sawit mampan, traceability of sustainable pump oil, dengan izin, telah dilaksanakan menerusi kerjasama dengan sebuah syarikat pengeluar fast-moving consumer goods
(FMCG) antarabangsa, di mana sistem yang dibangunkan memudahkan pengesanan interaksi pekebun kecil dengan pembeli ataupun pengedar serta pergerakan tandan buah segar (FFB) yang dihasilkan dari ladang. Platform kebolehkesanan ini mampu mewujudkan hubungan antara pembekal sawit kepada kilang minyak sawit dengan lebih tepat dan berkesan.
Di samping itu, melalui sistem ini, syarikat pengeluar FMCG antarabangsa dapat mengenal pasti risiko sosial dan alam sekitar di sepanjang rantaian bekalan dan seterusnya boleh merancang dan memantau tindakan susulan untuk penambahbaikan.
Menerusi sistem ini juga, pekebun kecil dapat meningkatkan hasil sebanyak 30 hingga 50 peratus di samping memastikan amalan mampan dalam rantaian bekalan minyak sawit untuk syarikat pengeluar FMCG antarabangsa.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi - Tuan Chang Lih Kang
Seterusnya, bagi menghuraikan pertanyaan Yang Berhormat Bagan Serai pula, penggunaan IOT dan AI dalam pertanian pintar memang sudah lama dilaksanakan oleh MOSTI. Sebagai contoh, Bioeconomy Corporation membantu dalam usaha yang melibatkan pertanian bandar ataupun urban farming, dengan izin, dan pertanian pintar, smart farming, dengan elemen internet of things (IoT).
Terkini, Bioeconomy Corporation sedang aktif dalam usaha perbincangan dengan sebuah syarikat Eropah untuk mengembangkan penyelesaian berdasarkan teknologi blockchain. Penyelesaian ini awalnya direka untuk industri FITO FAMA tetapi kini diperluaskan merangkumi sektor lain termasuk dalam bidang pertanian.
Melalui NanoMalaysia Berhad pula, salah satu projek yang memberi tumpuan kepada pertanian pintar dan pertanian tepat ialah penternakan burung walet pintar, smart swiftlet farming, dengan izin. Sistem ini menggunakan sistem penyelesaian internet of nano things (IoNT) yang dapat meningkatkan produktiviti sarang burung walet dan penggunaan sel suria yang berasaskan nano teknologi membolehkan penjanaan tenaga di kawasan luar grid dan sistem pemantauan di habitat burung walet melalui penderiaan nano, nano sensor, dengan izin, dengan sensitiviti yang tinggi membolehkan data dikumpul dengan tepat dan dianalisa untuk mengoptimumkan pengeluaran sarang burung.
Timbalan Puan Yang di-Pertua, sistem pemantauan dilaksanakan adalah berasaskan aplikasi mudah alih untuk pemantauan jarak jauh melalui telefon bimbit atau di pejabat operasi. Penggunaan teknologi IoNT yang disenaraikan di atas memerlukan jumlah pekerja yang minimum di tapak operasi seterusnya dapat meningkatkan produktiviti dan kecekapan.
Selain itu, antara penyelesaian teknologi yang turut diketengahkan dan tersedia untuk dilaksanakan segera dalam membantu menangani isu sekuriti makanan adalah penggunaan automasi sistem fertigasi pertanian menegak, vertical farming, dengan izin, dan akuaponik yang digandingkan bersama aplikasi AI. Aplikasi ini mampu beroperasi di kawasan terpencil dan mengurangkan kos operasi melalui penggunaan panel tenaga suria nano (NLEP), tenaga solar sebagai sumber tenaga utama.
Antara sistem-sistem lain yang dibangunkan melalui teknologi AI dan IoT adalah seperti, pertama, sistem akuaponik IoNT. Satu sistem akuaponik yang mempunyai elemen-elemen seperti tangki akuakultur, sistem hidroponik, penderia suhu, kelembapan, kandungan oksigen dalam rumah hijau dan lain-lain. Sistem ini juga mempunyai solar panel yang menjana elektrik menggunakan tenaga cahaya. Lokasi sedia ada di Manong, Perak.
Dan kedua, pertanian dron yang menggunakan dron untuk penyemburan dan penyebaran racun ataupun baja dalam industri pertanian dan perladangan. Lokasi sedia ada di Felda Batu 8, Changlun, Kedah.
Tuan Sabri bin Azit - Jerai
Menteri. Terima kasih, Menteri. Setakat di penggal yang lepas, saya sudah bangkitkan isu dron di dalam pertanian. Setakat ini, adakah berlaku collaboration ataupun gabungan kerja dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan untuk membolehkan B40 dalam kalangan petani untuk memiliki dron yang murah?
Tuan Chang Lih Kang
Terima kasih soalan daripada Yang Berhormat. Sekarang memang MOSTI bekerjasama, ada kolaborasi dengan Kementerian Pertanian. Tetapi dasar untuk pertanian itu memang di bawah Kementerian Pertanian. Cuma, nanti saya akan sebut ada beberapa kolaborasi dengan Kementerian Pertanian terutamanya di negeri Utara Kedah dan Perlis. Boleh nanti saya sambung? Terima kasih.
Lokasi yang sedia ada yang menggunakan pertanian dron di Felda Batu 8, Changlun Kedah; Felda Pasir Besar, Gemas, Negeri Sembilan; Felda Sungai Tengi, Selangor; Achi Jaya Plantations; dan FELCRA Berhad, Johor; dan juga FGV Berhad, Pahang.
Tuan Chang Lih Kang
Tuan Yang di-Pertua, untuk rujukan Ahli-ahli Yang Berhormat juga, MOSTI mempunyai dasar penggunaan barangan dan perkhidmatan hasil R&D tempatan dalam perolehan kerajaan atau MySTI. Ini bertujuan untuk merangsang daya cipta dan daya saing syarikat teknologi tempatan bagi memperkasakan lagi usaha mengkomersialkan teknologi dan inovasi. Barangan dan perkhidmatan yang dihasilkan melalui aktiviti R&D tempatan akan dapat dikenal pasti melalui penandaan logo MySTI dan akan diberikan keutamaan dalam perolehan kerajaan. Ini merupakan salah satu komitmen kerajaan untuk mencapai sasaran Malaysia sebagai negara pengeluar teknologi menjelang tahun 2030.
MOSTI telah membangunkan inventori yang menghimpunkan barangan dan perkhidmatan yang diluluskan logo MySTI sebagai rujukan kepada pihak kerajaan atau kontraktor luar semasa proses perolehan. Program ini dilaksanakan secara rintis selama dua tahun mulai tahun lepas. Antara produk-produk yang telah mendapat penandaan logo MySTI adalah seperti berikut.
Yang pertama, unmanned ground vehicle (UGV) bertenaga hibrid. Ia menggunakan kuasa petrol dan bateri serta navigasi automasi 3D untuk meningkatkan kecekapan pertanian, mengurangkan pembaziran racun serangga dan mewujudkan ekosistem pertanian yang mampan. Teknologi ini dibangunkan untuk persekitaran pertanian yang kompleks terutamanya kepada industri ladang kelapa sawit yang memerlukan penyemburan yang tepat. Ia juga boleh disesuaikan dengan pelbagai jenis pertanian seperti kelapa, nanas, sayuran dan lain-lain. Teknologi ini juga dapat menangani isu kekurangan buruh, meningkatkan kecekapan organisasi, menjimatkan kos operasi dan mudah untuk digunakan.
Yang kedua, teknologi yang berupaya untuk meningkatkan masa operasi dengan ketetapan penyemburan untuk benih dan tumbuhan dalam sektor perladangan dan pertanian. Dron mempunyai masa operasi tiga kali lebih lama dan 100 peratus ketepatan penyemburan untuk mengurangkan pembaziran baja. Platform ini mampu meningkatkan perancangan, pemantauan dan penyelesaian menggunakan teknologi analitis.
Yang ketiga, robot khas digunakan untuk membantu pengusaha rumah hijau memaksimumkan ruang untuk mengurangkan ruang antara tumbuhan. Robot ini akan membawa pokok-pokok dari stesen penanaman ke stesen penuaian dan mempunyai keupayaan menuai buah-buahan menggunakan integrasi kamera yang dilengkapi dengan sensor untuk mengesan buah yang telah matang berdasarkan warna, saiz, bentuk dan tekstur dan juga linear robot akan mengembalikannya semula ke stesen penanaman setelah selesai.
Seterusnya, bagi cadangan Yang Berhormat Kuala Kedah— ini ada berkaitan dengan soalan Yang Berhormat Jerai juga tadi. Supaya satu task force diwujudkan antara agensi Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam bagi menangani masalah tanah jerlus di kawasan sawah.
Untuk makluman Yang Berhormat, baru-baru ini sekumpulan saintis tempatan dan agensi di bawah MOSTI telah melawat kawasan bendang padi di antara Kedah dan juga Perlis untuk melihat sendiri kawasan tanah jerlus tersebut. Dapatan daripada lawatan tersebut akan diberikan input kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.
Sebagai agensi pembangun teknologi, MOSTI sentiasa sedia membantu dalam sebarang penawaran khidmat nasihat dan kepakaran teknologi yang bersesuaian. Sebagai contoh, di bawah Agensi Nuklear. Terdapat produk pemulih tanah berasaskan pemangkin zeolit berteknologi nano bagi meningkatkan kecekapan nutrien baja dan mengurangkan kehilangan nutrien daripada tanah.
Di samping itu, melalui MRANTI, inisiatif National Technology and Innovation Sandbox (NTIS) telah melancarkan Food Security Sandbox yang merupakan kolaborasi di antara NTIS dan Pihak Berkuasa Pelaksana Koridor Utara (NCIA). Dan Food Security Sandbox ini antaranya adalah kerjasama antara MOSTI dengan Kementerian Pertanian dalam teknologi dron.
Food Security Sandbox menyediakan satu platform kepada syarikat pemula, penyelidik, penggerak inovasi, perusahaan kecil sederhana dan juga usahawan dalam
Tuan Chang Lih Kang
sektor keselamatan makanan, menguji produk teknologi ataupun perkhidmatan dalam persekitaran yang sebenar dan dalam keadaan yang selamat. Ini dapat memberi kelonggaran daripada undang-undang dan peraturan sedia ada untuk tujuan pembangunan teknologi dan produk menerusi penyelidikan. Buat masa ini, dua tapak pengujian telah dikenal pasti iaitu satu di Pendang, Kedah dan satu di Chuping, Perlis dengan keluasan tanah hampir 100 hektar.
Untuk perhatian Yang Berhormat juga, NTIS telah menerima 268 permohonan berkaitan dengan teknologi dron, teknologi 4IR, teknologi pertanian dan teknologi kesihatan. Dengan jumlah bantuan pembiayaan yang diluluskan melebihi RM43 juta.
Sehingga kini, 51 syarikat di bawah NTIS telah pun menyelesaikan projek mereka di tapak sandbox dan telah memasuki fasa pengkomersialan. Sebanyak 30 projek NTIS telah berjaya dikomersialkan dengan jumlah jualan sehingga RM87.7 juta.
Dalam usaha menjalin kerjasama STI dengan Kerajaan Negeri pula, MOSTI kini sedang dalam lawatan rasmi ke setiap negeri bagi berjumpa dengan exco yang memegang portfolio berkaitan sains, teknologi dan inovasi. Baru-baru ini saya telah melawat ke Kedah dan telah berjumpa dengan EXCO Sains, Teknologi dan Inovasi, Dr.
Haim Hilman. Ini bertujuan untuk mengembangkan teknologi dan solusi yang tersedia di bawah MOSTI termasuk teknologi pertanian. Ia juga adalah kerjasama dua hala STI bagi memperjelaskan fokus MOSTI serta membincangkan strategi pelaksanaan STI pada peringkat negeri sebelum dibawa untuk pertimbangan Mesyuarat EXCO STI peringkat kementerian.
Oleh itu, di dalam Dewan yang mulia ini, MOSTI mengalu-alukan Ahli-ahli Yang Berhormat untuk turut mengusulkan sebarang pembangunan dan penyelidikan R&D atau syarikat yang berpotensi dengan solusi teknologi yang dibangunkan di bawah MOSTI bagi meningkatkan kadar penyelesaian isu setempat termasuk isu pertanian yang sangat berkait rapat dengan keselamatan makanan di negara ini.
Puan Timbalan Yang di-Pertua, sebagai penutup, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) mengambil maklum akan setiap cadangan dan isu yang diajukan oleh Ahli Yang Berhormat dan sentiasa komited dan berusaha mengambil tindakan proaktif yang sewajarnya. Sudah habis dah.
Tuan Wan Ahmad Fayhsal bin Wan Ahmad Kamal - Machang
Boleh saya mencelah sedikit?
Tuan Chang Lih Kang
Boleh.
Tuan Wan Ahmad Fayhsal bin Wan Ahmad Kamal - Machang
Masa ada lagi.
Kita pun puasa. Yang Berhormat Menteri, terima kasih atas penerangan panjang lebar.
Saya tahulah MOSTI ini tidak seksi sangat untuk kita bahas. Tetapi penting. Saya cuma hendak tanya di bawah bidang kuasa MOSTI, apakah keterlibatan MOSTI dengan MIGHT dan juga apa jadi dengan kita punya blueprint AI. Apakah masih di bawah MITI ataupun saya tidak pasti adakah Kementerian Digital? Jadi, boleh terangkan kepada kami?
Tuan Chang Lih Kang
Terima kasih Yang Berhormat. MIGHT adalah salah satu agensi di bawah MOSTI dan road map AI juga setakat ini MOSTI adalah owner-nya dengan izin. So, yang selepas ada saja wujud portfolio baharu, kita akan bincangkan bagaimana kita hendak agihkan. Tetapi setakat ini, AI road map masih di bawah MOSTI.
Dengan itu, sekian sahaja maklum balas saya tentang isu-isu di bawah MOSTI yang dibangkitkan oleh Ahli Yang Berhormat dalam perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat bagi Penggal Ketiga, Parlimen Ke-15. Saya sekali lagi mengucapkan terima kasih kepada semua Ahli Yang Berhormat yang telah mengambil bahagian dalam perbahasan yang menyentuh bidang kuasa MOSTI. Sekian, terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Terima kasih Yang Berhormat Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi. Sekarang saya jemput Yang Berhormat Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk menjawab.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat - Dato’ Sri Hajah Nancy binti Shukri
Terima kasih Dato’ Yang di-Pertua. *Bismillahi Rahmani Rahim.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh*, selamat tengah hari, selamat menyambut bulan Ramadan, berpuasa hari pertama hari ini.
Dato’ Yang di-Pertua, saya merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua Ahli Yang Berhormat yang telah berbahas dan menyentuh isu-isu di bawah seliaan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) semasa mengambil bahagian dalam sesi perbahasan Usul Menjunjung Kasih Ke atas Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong selama dua minggu ini iaitu pada hari Selasa, 27 Februari 2024 hingga hari Khamis, 7 Mac 2024. Saya amat menghargai segala pandangan dan cadangan yang telah dikemukakan dan akan diambil kira dalam perancangan KPWKM di masa hadapan. Insya-Allah, pada hari ini saya akan memberi maklum balas kepada pertanyaan-pertanyaan yang telah diajukan oleh Ahli-ahli Yang Berhormat kepada KPWKM. Ada lima orang yang Dato’ Yang di-Pertua.
Dato’ Yang di-Pertua, Yang Berhormat Kampar inginkan penjelasan mengenai maklumat yang telah digodam dalam sistem PADU, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) dan apakah langkah yang telah diambil dalam mempertingkatkan sistem keselamatan server supaya maklumat peribadi dalam pangkalan data tersebut tidak akan digodam dan dikompromi lagi. Saya yakin perkara yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Kampar ini adalah merujuk kepada insiden pencerobohan siber di LPPKN yang telah berlaku pada hari Isnin, 19 Februari 2024 jam 5.50 petang membabitkan maklumat dalam folder yang dinamakan PADU.
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, folder PADU ini merujuk kepada milik salah satu unit di LPPKN iaitu Unit Pengurusan dan Penyampaian Perkhidmatan atau nama ringkasnya dikenali sebagai PADU. Ia bukanlah merujuk kepada sistem Pangkalan Data Utama (PADU) yang telah dibangunkan dan kini sistem sedang giat dikemaskinikan oleh Kementerian Ekonomi. Untuk makluman juga, unit ini telah diwujudkan pada tahun 2015 dan pada mulanya dikenali sebagai Unit Transformasi dan Pengurusan Pelaksanaan iaitu UTPP, kemudian ia telah dijenamakan semula sebagai Unit Pengurusan dan Penyampaian Perkhidmatan (PADU) mulai tahun 2019 sebelum ia dibubarkan pada tahun 2022 susulan penstrukturan dalaman LPPKN.
Setelah siasatan dilakukan, didapati bahawa tiada maklumat peribadi klien LPPKN yang telah dikompromi, tetapi folder yang telah diceroboh tersebut adalah terhad kepada satu folder yang telah dinamakan PADU di dalam pelayan storan awan atau dengan izin, cloud storage server. Fail di dalam folder itu hanya mengandungi maklumat tidak berstruktur berkaitan beberapa program anjuran LPPKN seperti gambar, video, poster dan slaid taklimat. Sekali lagi ingin ditegaskan bahawa maklumat ini di dalam folder PADU tersebut tidak mengandungi data berstruktur sepertimana data di dalam sistem Pangkalan Data Utama (PADU) yang dibangunkan dengan kolaborasi strategik Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Kementerian Ekonomi dan Jabatan Digital Negara.
LPPKN mengambil serius dalam soal keselamatan siber terutamanya membabitkan data bukan sahaja dalaman LPPKN, tetapi juga khususnya maklumat membabitkan kliennya. Justeru, antara langkah-langkah yang telah diambil oleh LPPKN termasuklah beberapa perkara antaranya ialah penggunaan multi-factor authentication ataupun MFA atau 2FA (multi ataupun two-factor authentication) yang memerlukan pengesahan akaun pengguna sebanyak dua kali atau lebih sebelum dibenarkan log masuk ataupun log in ke dalam server atau sistem aplikasi. Kedua, di antaranya ialah pengukuhan firewall. Dengan menaik taraf tahap perisian keselamatan rangkaian yang bertindak sebagai pelindung dan capaian penggodam. Ketiga yang boleh saya gunakan sebagai contoh ialah pemantapan polisi capaian pengguna di mana modul-modul atau fungsi sistem aplikasi hanya boleh diakses oleh pengguna sistem yang telah dikenal pasti sah. Itu contoh yang saya gunakan.
Seterusnya Dato’ Yang di-Pertua, Yang Berhormat Selangau telah memohon pertimbangan KPWKM...
Tuan Chong Zhemin - Kampar
Menteri, saya hendak dapat penjelasan sedikit, Kampar sini. Menteri, minta laluan sikit. Saya hendak dapat penjelasan, adakah penjelasan Menteri mengatakan bahawa dakwaan bahawa R00TK1T, kumpulan siber ini bahawa ada maklumat peribadi telah digodam 27TB itu adalah palsu, adakah Menteri menyatakan macam ini?
Dato’ Sri Hajah Nancy binti Shukri
Saya hendak katakan palsu atau tidak itu terpulang kepada cara kita mendefinisikannya. Akan tetapi, apa yang kita tahu bahawa dalam kita punya data itu tidak ada kena-mengena dengan itu. Sebab ia lebih kepada gambar-gambar, video yang menunjukkan mengenai maklum balas — maklumat yang ada dalam data kita. Tak ada kena-mengena dengan maklumat peribadi. Terima kasih.
Seterusnya Dato’ Yang di-Pertua, Yang Berhormat Selangau telah memohon pertimbangan KPWKM untuk menyediakan penginapan sementara dengan mendirikan rumah anjung rehat bagi pesakit dialisis yang memerlukan tempat penginapan selepas menjalani rawatan di Selangau. Untuk makluman Yang Berhormat, Yayasan Kebajikan Negara (YKN) ada menyediakan Anjung Kasih iaitu penginapan sementara yang disediakan kepada ahli keluarga atau waris yang mengiringi pesakit yang tidak berkemampuan, tetapi memerlukan penginapan sementara ketika atau selepas mendapatkan rawatan di hospital kerajaan.
Penginapan sementara yang ditawarkan ini berkonsepkan selesa, selamat dan berkualiti. Sejak penubuhannya pada tahun 2006 sehingga tahun 2023, seramai 96,338 orang telah mendapat manfaat daripada 19 buah Anjung Kasih YKN di seluruh negara.
Penubuhan Anjung Kasih YKN mengambil kira dan memberi keutamaan kepada hospital- hospital kerajaan di ibu negeri serta merupakan hospital rujukan khusus kepada pesakit yang datang dari jauh untuk mendapatkan rawatan dan penginapan sementara. Sumber kewangan bagi menubuhkan Anjung Kasih YKN juga adalah bergantung kepada penajaan daripada sektor korporat melalui program tanggungjawab sosial korporat ataupun CSR.
Ia bukan daripada peruntukan kerajaan.
KPWKM melalui YKN sentiasa mengalu-alukan penglibatan syarikat korporat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau orang perseorangan untuk menyumbang dan bekerjasama memperluaskan perkhidmatan Anjung Kasih YKN di lebih banyak hospital- hospital kerajaan bagi memberi akses serta manfaat kepada masyarakat yang memerlukan di seluruh negara. Setiap sumbangan wang tunai akan diberikan resit pengecualian cukai di bawah subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967.
Untuk makluman juga, sehingga kini terdapat tiga buah Anjung Kasih YKN yang beroperasi di negeri Sarawak, Hospital Umum Sarawak, Hospital Miri, Hospital Sibu. Klinik Kesihatan Selangau terletak kira-kira sejam perjalanan dari Hospital Sibu. Pembinaan Anjung Kasih YKN yang baharu di tempat-tempat yang lain termasuklah Klinik Kesihatan Selangau akan diteliti keperluannya dari semasa ke semasa serta yang utamanya adalah tertakluk kepada seperti yang saya katakan sebentar tadi, peruntukan YKN serta penajaan daripada sektor korporat.
Dato’ Sri Hajah Nancy binti Shukri
Seterusnya Dato' Yang di-Pertua, Yang Berhormat Batang Sadong memberi pandangan bahawa perlunya ada usaha pemerkasaan wanita yang berstruktur. Batang Sadong ada dalam Dewan ya. Dalam perkara ini, memang benar bahawa usaha pemerkasaan wanita tidak hanya perlu dilakukan dari sudut ekonomi semata-mata tetapi ia perlu menyeluruh merangkumi undang-undang, akses kepada sistem kehakiman dan juga ekosistem sokongan seperti khidmat perkhidmatan penjagaan yang berkualiti dan pemerkasaan menyeluruh inilah sebenarnya usaha yang diambil oleh KPWKM khususnya dalam mencapai kadar penyertaan tenaga buruh wanita kepada 60 peratus sepertimana yang telah disasarkan dalam kerangka Ekonomi MADANI.
Daripada segi undang-undang, kerajaan telah menambah baik undang-undang, polisi dan dasar berkaitan bagi menggalakkan wanita untuk terus kekal dalam pasaran buruh. Contohnya kerajaan telah menggubal akta baharu seperti Akta Antigangguan Seksual 2022 iaitu Akta 840 yang turut menterjemahkan usaha kerajaan dalam
Dato’ Sri Hajah Nancy binti Shukri
menyediakan persekitaran yang selamat kepada wanita dengan menghapuskan budaya menormalisasikan gangguan seksual dalam kalangan masyarakat Malaysia.
Bagi menyokong pelaksanaan akta ini, KPWKM juga telah melaksanakan program advokasi antigangguan seksual melalui Program Jerayawara Kasih KPWKM @Advokasi Antigangguan Seksual yang dilaksanakan di seluruh negara, yang mula dilancarkan pada 29 Mei 2023. Ini telah kita lakukan untuk memberi pengetahuan kepada masyarakat umum, khususnya wanita bahawa ada satu akta yang spesifik melindungi mereka dalam perkara ini.
Selain itu, kerajaan turut telah meminda Akta Kerja 1955 yang berkuat kuasa mulai Januari 2023 untuk membawa impak positif kepada kesejahteraan wanita yang bekerja dan keluarga mereka. Pindaan akta ini antaranya meliputi waktu kerja seminggu dihadkan kepada 45 jam. Cuti bersalin dipanjangkan daripada 60 hari kepada 98 hari. Cuti paterniti daripada tiga hari ke tujuh hari, yang memberi lebih peluang kepada para isteri yang baru melahirkan anak untuk mendapatkan sokongan sewajarnya daripada pasangan mereka. Selain itu juga, pindaan yang dilakukan turut menjaga hak wanita hamil untuk tetap di jawatan yang sama.
Pada masa yang sama, KPWKM menyambut baik kenyataan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri semasa sambutan Hari Wanita Antarabangsa pada hari Jumaat yang lepas, minggu lalu untuk kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang sedang dilaksanakan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam turut meneliti kebolehlaksanaan waktu bekerja fleksi bagi kaum ibu.
Sementara itu tiada guna kerajaan menggubal atau meminda undang-undang dan dasar yang melindungi hak wanita, jika ia tidak diketahui oleh rakyat. Justeru, KPWKM dalam program-program pemerkasaan wanita yang dilaksanakan, turut memberi penekanan kepada pembangunan kapasiti meliputi literasi perundangan dan hak wanita bagi memberi pendedahan kepada wanita terhadap akses kepada sistem kehakiman.
Program yang kita laksanakan juga tidak terhenti di situ sahaja, malah kita turut mengadakan program meningkatkan daya tahan dan psikologi wanita sebagai perkhidmatan sokongan terhadap kesihatan mental dan fizikal wanita.
Di samping itu...
Dato’ Siti Zailah binti Mohd Yusoff - Rantau Panjang
Minta penjelasan sikit Yang Berhormat Menteri. Terima kasih. Terima kasih Yang Berhormat Yang di-Pertua.
Saya tertarik dengan apa yang telah dijawab oleh Yang Berhormat berkaitan dengan dasar melindungi hak wanita yang telah dilaksanakan oleh kerajaan. Adakah kerajaan berhasrat untuk melaksanakan dasar cuti ihdad iaitu cuti bagi wanita yang kematian suami sebagaimana di Kelantan telah dilaksanakan cuti selama sebulan kepada kakitangan kerajaan negeri yang kematian suami dan bergaji. Berkenaan perkara ini sangat penting untuk memberi ruang terutama kepada isteri yang baru kehilangan suami dan anak-anak, terutama dari sudut mengurus harta pusaka dan sebagainya dan juga daripada segi psikologi.
Jadi, apakah ada cadangan untuk memberi cuti ihdad? Mungkin berlaku sekali seumur hidup iaitu suami meninggal, isteri yang kakitangan kerajaan diberi cuti. Terima kasih.
Dato’ Sri Hajah Nancy binti Shukri
Terima kasih Yang Berhormat. Terima kasih Dato' Yang di-Pertua. Setakat ini belum ada lagi. Mungkin boleh kita pertimbangkan kalau diperlukan. Jadi, mencontohi apa yang dilakukan di Kelantan. Insya-Allah lah tapi itu belum dapat kita janjikan kerana kita sudah banyak cuti ini. Cuma itu adalah cuti yang amat khusus untuk mereka yang kematian suami. Jadi, setakat ini belum lagi. Kita akan usahakan. Terima kasih.
Dato' Yang di-Pertua, di samping itu, wanita lazimnya akan berhadapan dengan cabaran serta dilema untuk mengimbangi di antara keperluan kerjaya dan tanggungjawab menjaga ahli keluarga. Menyedari keperluan sokongan perkhidmatan ini, KPWKM kini turut memberi fokus kepada pembangunan industri penjagaan yang bukan hanya tertumpu kepada penjagaan kanak-kanak sahaja, malah turut meliputi warga emas dan
Dato’ Sri Hajah Nancy binti Shukri
OKU. Justeru, KPWKM berharap fokus kepada pembangunan industri penjagaan ini akan dapat membantu wanita memenuhi potensi mereka, seterusnya mengumbang kepada kemajuan ekonomi negara.
Puan Hajah Rodziah binti Ismail - Ampang
Yang Berhormat Menteri, minta mohon mencelah. Ampang, Ampang. Okey. Terima kasih Yang Berhormat Menteri, walaupun saya tidak berbahas dalam topik wanita. Saya tertarik tentang penjelasan yang diberikan tadi bahawa peranan wanita itu amat penting ya. Amat penting dan juga kita tahu maklumat-maklumat yang telah pun dibuat ataupun telah pun berada dalam kementerian itu perlu disampaikan ke akar umbi.
Jadi, saya ingin bertanyalah sebab pada saya membina kapasiti wanita itu boleh kita gandingkan sekali dengan apa yang dilakukan oleh kementerian wanita. Jadi, saya bertanya apakah ada hasrat kerajaan untuk membuat satu sistem kepimpinan yang lebih berstruktur ya. Contohnya, kita sekarang ada Jabatan Pembangunan Wanita sahaja, kita tidak ada kepimpinan di peringkat Parlimen ataupun ADUN. Mungkin sampai masanya kalau boleh kita melantik wakil-wakil khusus daripada kementerian untuk mewakili supaya apa yang dibuat yang baik yang dibuat oleh kementerian ini dapat sampai ke akar umbi.
Dalam masa yang sama, kita juga membina kapasiti wanita untuk memimpin di kawasan- kawasan masing-masing. Hanya itu cadangan saya.
Dato’ Sri Hajah Nancy binti Shukri
Terima kasih Yang Berhormat Ampang.
Sebenarnya kalau dari sudut kepimpinan secara prinsipnya, secara umumnya memang sudah ada dilakukan ya dan kalau didengar pada malam Hari Wanita dilancarkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri pada malam itu, beliau ada mengumumkan untuk memberi kepada 100 orang tokoh ataupun mungkin persatuan yang mungkin kita boleh ambil kira sebab baru diumum.
Itu sebenarnya salah satu daripada permohonan secara umum yang saya telah buat kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dengan tujuan kita melatihkan dari sudut bukan sahaja kepimpinan tetapi juga ekonomi. Cuma daripada segi mekanismenya belum diputuskan kerana ia baru sahaja diluluskan, diumumkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri. Tapi tujuannya ke arah ke situlah ya. Terima kasih Yang Berhormat di atas perhatian Yang Berhormat.
Dato' Yang di-Pertua, bagi sektor penjagaan kanak-kanak, kerajaan telah menyediakan pelbagai insentif sebagai galakan penggunaan perkhidmatan taman asuhan kanak-kanak iaitu taska. Antaranya termasuklah pelepasan cukai kepada majikan yang memberikan elaun atau subsidi kepada pekerja yang menghantar anak ke taska. Geran bagi membantu meringankan kos penubuhan taska di tempat kerja sektor awam, pengecualian pendapatan bagi tempoh lima tahun kepada pengusaha taska serta elaun bangunan industri.
Kerajaan turut telah meningkatkan pelepasan cukai pendapatan individu sehingga RM3,000 bagi bayaran...
Dr. Abd Ghani bin Ahmad - Jerlun
Menteri.
Dato’ Sri Hajah Nancy binti Shukri
...Yuran taska dan tadika berbanding...
Dr. Abd Ghani bin Ahmad - Jerlun
Yang Berhormat Menteri.
Dato’ Sri Hajah Nancy binti Shukri
...RM2,400 sebelum ini.
Dr. Abd Ghani bin Ahmad - Jerlun
Pohon mencelah. Jerlun. Berkaitan dengan hasrat kerajaan menggalakkan ibu bapa menghantar anak-anak di pusat asuhan ataupun taska.
Dr. Abd Ghani bin Ahmad - Jerlun
Sekarang ini isu yang berlegar di kalangan para waris ialah berkaitan dengan kadar harga yang ditetapkan oleh pusat-pusat jagaan kanak-kanak ini agak berbeza antara bandar, pinggir bandar dan kampung. Di peringkat kampung pun, sudah menjadi bualan di kalangan para waris. Kadang-kadang seorang anak itu sehingga mencecah kepada RM400 ke RM450. Adakah kerajaan berhasrat untuk meletakkan paras minimum ataupun garis tertentu kadar penjagaan kanak-kanak berdasarkan kepada usia. Sekian.
Dato’ Sri Hajah Nancy binti Shukri
Terima kasih Yang Berhormat. Setakat ini kalau mereka dari golongan kerja kerajaan, memang kerajaan ada memberi subsidi RM180 untuk mereka menghantar anak kepada taska kerajaan. Tetapi untuk swasta, adalah kebebasan mereka setakat ini kerana ia melihat kepada kualiti tempat itu sendiri.
Jadi, terpulang kepada individu-individu dan ibu bapa untuk menilai sendiri sama ada ia whether it is worthwhile or not dengan izin untuk menghantar anak mereka ke tempat- tempat sepertimana yang ada yang mereka harus pilih itu. Jadi setakat ini kita masih belum lagi meletakkan harga siling ataupun harga standard untuk tempat-tempat tertentu.
Cuma saya hendak nyatakan di sini kerana itu adalah tempat yang tertentu oleh pihak swasta. Cuma diharapkan agar mereka yang hendak menghantar anak ke tempat- tempat swasta ini, sila rujuk sama ada mereka ini adalah tempat yang berdaftar dengan kami kah tidak. Kerana kami tidak dapat melihat kepada semua tempat di seluruh negara ini. Maka, kami memerlukan mereka yang hendak menghantar anak ke tempat swasta ini sila rujuk kepada kami.
Sama ada mereka berdaftar kepada kami kah tidak kerana pendaftaran ini bukan hanya bergantung kepada kementerian kami kerana mereka juga perlu merujuk kepada pihak KPKT, terutama sekali dari segi – dari sudut keselamatan mereka untuk mereka membina tempat-tempat untuk anak– membina taska tersebut. Bomba perlu dirujuk, KPKT rujuk, KPM, mungkin kesihatan juga MOH juga perlu dirujuk. Jadi, sebelum mereka didaftar sepenuhnya, maka merujuk kepada semua ini baru kami mendaftar.
Kalau lulus daripada kementerian-kementerian yang lain itu, baru kami mendaftarkan mereka. Kerana kami tidak mahu sewenang-wenang mendaftar kalau mereka itu, tempat itu masih lagi terancam dari segi keselamatannya, tidak teratur. Maka sebab itu kalau nak meneliti dari segi harga mereka, nilai – ceiling price itu dengan izin, maka perlulah mereka yang hendak menghantar itu meneliti sendiri dan juga menilai sama ada worthwhile or not dengan izin ya untuk menghantar mereka di situ. Ya, terima kasih.
Dato’ yang di-Pertua, saya menyambung. Sementara itu bagi penjagaan warga emas sepertimana juga telah dibangkitkan oleh Yang Berhormat Bandar Kuching, adalah dimaklumkan bahawa pada masa ini semua pusat jagaan termasuk pusat jagaan warga emas adalah tertakluk kepada Akta Pusat Jagaan 1993 ataupun Akta 506. Ini bagi memastikan pengoperasian semua pusat jagaan berdaftar sama ada dijalankan oleh pihak swasta mahupun NGO, mematuhi semua standard yang telah ditetapkan, termasuklah dari segi pemakanan, tempat tinggal, rawatan kesihatan dan aktiviti harian semasa berada di pusat jagaan.
Bagi warga emas yang daif yang tidak mempunyai waris, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyediakan perkhidmatan jagaan di Rumah Seri Kenangan dan Rumah Ehsan untuk memberi jagaan dan perlindungan, demi menjamin kesejahteraan dan kualiti hidup mereka. Selain itu, kehidupan di institusi ini mampu mewujudkan jaringan sosial kepada warga emas untuk berinteraksi sesama rakan seusia.
Bagi menambah baik pengurusan pusat jagaan warga emas, KPWKM telah mengaplikasikan penyampaian perkhidmatan alternatif ataupun dengan izin Alternative Service Delivery (ASD). Inisiatif ini menumpukan kolaborasi strategik antara kerajaan dengan NGO seperti yang dilaksanakan di Rumah Seri Kenangan (RSK), Sri Iskandar bagi meningkatkan mutu dan kualiti penjagaan warga emas agar dapat dipertingkatkan ke tahap yang lebih baik. Pelaksanaan projek rintis yang dijalankan di Rumah Seri Kenangan, Sri Iskandar, Perak bermula pada tahun 2021.
Kerajaan juga menggalakkan penubuhan pusat-pusat jagaan melalui penyediaan bantuan kewangan atau geran kepada NGO yang berdaftar di bawah Akta Pusat Jagaan 1993 dan layak berdasarkan syarat-syarat yang ditetapkan, termasuk pusat jagaan warga emas. Selaras dengan keperluan semasa, Kompleks Penyayang Sinar Kasih di Nibong Tebal, Pulau Pinang yang berkonsepkan inter-generasi menempatkan warga emas dan kanak-kanak yang memerlukan penjagaan dan pelindungan di jadual untuk beroperasi sepenuhnya pada tahun ini. Dalam konteks memajukan industri penjagaan ini, KPWKM memberi tumpuan untuk melahirkan penjagaan berkemahiran menerusi pembangunan rangka tindakan pelaksanaan program latihan yang standard merangkumi modul-modul penjagaan pelbagai kumpulan sasar.
Dato’ Sri Hajah Nancy binti Shukri
Selain itu, pusat jagaan warga emas yang disediakan oleh pihak swasta dan pertubuhan bukan kerajaan pula akan tertakluk di bawah Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Warga Emas Swasta 2018 (PAHFAS) apabila akta tersebut dikuatkuasakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kelak. Kesimpulan, kerajaan sentiasa mengambil inisiatif dalam menyediakan polisi serta perkhidmatan yang bersesuaian bagi memastikan wanita atau mana-mana individu dapat bekerja dan kembali menyumbang kepada ekonomi negara.
Seterusnya Dato’ Yang di-Pertua, Yang Berhormat Bukit Bendera telah memberikan cadangan supaya institusi warga emas di bawah KPWKM perlu ditransformasi menjadi lebih meriah dan menyediakan perkhidmatan penjagaan yang lebih bermaruah. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, KPWKM sentiasa mengambil kira keperluan penambahbaikan institusi-institusi di bawah seliaannya, termasuklah institusi yang menempatkan warga emas iaitu Rumah Seri Kenangan dan Rumah Ehsan.
Pada masa ini terdapat 10 buah institusi warga emas sedang beroperasi dengan kos pengoperasian pada tahun 2023 berjumlah RM58.1 juta yang memberi manfaat kepada lebih 1,200 orang warga emas. Di bawah peruntukan Rancangan Malaysia Kesebelas dan Kedua Belas, projek pembangunan JKM menumpukan fokus kepada menaik taraf institusi bagi memberikan keselesaan, kesejahteraan dan keceriaan yang lebih kepada penghuni. Institusi yang terlibat dalam projek naik taraf ini termasuklah RSK Seremban, Negeri Sembilan, Kompleks Sinar Kasih di Pulau Pinang, RSK Bidong di Kedah, RSK Johor Bahru dan Kompleks Ehsan di Slim River, Perak.
Empat konsep utama yang diambil kira dalam perancangan dan dilaksanakan bagi kerja naik taraf institusi-institusi ini adalah pertama iaitu fasiliti yang mengambil kira kemudahan universal design. Kedua, landskap yang mempunyai ciri-ciri keceriaan dan healthy aging dengan izin seperti edible garden, fountain dengan izin serta kemudahan mini trek untuk aktiviti senaman kesihatan warga emas. Ketiga kemudahan klinik dalam institusi serta keempat konsep ruang penghuni yang memiliki ciri keselesaan dan privasi dengan ruang lingkup satu bilik dua penghuni.
Penekanan kepada aspek pembangunan yang kondusif serta pelaksanaan program atau aktiviti yang positif di institusi diyakini dapat membantu warga emas di institusi ini sentiasa kekal sihat, aktif dan produktif. Bagi membentuk generasi yang prihatin dan penyayang, kementerian juga mengintegrasikan warga emas dan kanak- kanak dalam sebuah institusi.
Dato’ Sri Hajah Nancy binti Shukri
Kompleks Penyayang Sinar Kasih Nibong Tebal di Pulau Pinang dibina dengan konsep menempatkan warga emas wanita yang boleh mengurus diri dan sihat serta kanak-kanak di dalam kawasan premis yang sama apabila beroperasi kelak. Ini bagi mewujudkan hubungan antara warga emas dan kanak-kanak yang dapat memberi peluang kepada warga emas untuk mengatasi sindrom emptiness dengan izin dan dalam masa yang sama mampu mendidik generasi muda menghormati dan menghargai warga emas.
Boleh jugalah melawat di situ kalau ada mana Yang Berhormat tadi. Boleh melawat di tempat itu, boleh juga menceriakan warga emas di situ.
Dengan itu, Dato’ Yang di-Pertua, berakhirlah sesi penggulungan saya mewakili Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bagi Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat pada hari ini.
Sekali lagi, saya ingin merakamkan penghargaan kepada semua Ahli Yang Berhormat yang telah menyuarakan pandangan, cadangan penambahbaikan serta teguran yang melibatkan kumpulan sasar di bawah KPWKM. Saya menghargai segala yang telah dibangkitkan dan KPWKM akan mengambil segala yang telah dibangkitkan tadi, mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan input yang diterima.
Kerjasama dan sokongan ditunjukkan oleh semua Ahli Yang Berhormat terhadap beberapa inisiatif kementerian, terutamanya dalam mengendalikan isu yang sangat dekat
Dato’ Sri Hajah Nancy binti Shukri
di hati kita diharapkan dapat memberi lebih manfaat kepada rakyat Malaysia secara keseluruhannya.
Saya juga ingin mengambil kesempatan ini lagi sekali untuk ucapkan selamat menunaikan ibadah puasa kepada Ahli-ahli Yang Berhormat dan seluruh rakyat Malaysia yang beragama Islam. Semoga Allah SWT memberikan kesihatan yang baik dan memudahkan kita melaksanakan ibadah dan semoga amal ibadah kita ini diterima oleh- Nya. Aamin. Sekian, terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Terima kasih Yang Berhormat Menteri KPWKM. Sekarang saya menjemput Yang Berhormat Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam untuk menjawab.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam - Tuan Nik Nazmi bin Nik Ahmad
Bismillahi Rahmani Rahim. Assalamualaikum dan salam sejahtera Tuan Yang di-Pertua.
Terlebih dahulu, saya mewakili Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam ingin merafak sembah ucapan tahniah di atas pelantikan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah.
Saya juga ingin merafak sembah dengan ucapan menjunjung kasih dan setinggi- tinggi penghargaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Pahang yang telah menaungi negara dan rakyat sepanjang tempoh lima tahun dengan penuh keadilan dan kebijaksanaan.
Seterusnya, saya juga ingin mengucapkan terima kasih di atas keprihatinan 11 Ahli Yang Berhormat yang telah membahaskan isu-isu di bawah Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam iaitu Yang Berhormat Julau, Pulai, Hulu Selangor, Merbok, Sik, Padang Terap, Permatang Pauh, Sibu, Kubang Kerian, Simpang Renggam dan Batu Pahat.
Pertama sekali, Yang Berhormat Julau ada mencadangkan untuk pembentukan sebuah syarikat milik kerajaan atau GLC seperti PETRONAS untuk mengawal selia operasi perlombongan nadir bumi di negara ini. Sebenarnya perkara ini ada dibincangkan dan dibangkitkan di dalam libat urus draf kerangka Dasar Mineral Negara 3 yang diadakan antara 8 sehingga 11 Ogos 2023 dan juga pernah dibincangkan di dalam Mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan Pembangunan Industri Mineral yang saya pengerusikan dengan kehadiran Menteri-menteri Besar dan Ketua Menteri pada 2 Oktober 2023.
Berdasarkan maklum balas yang kami terima, cadangan ini memerlukan kajian yang lebih mendalam dari segi kebolehlaksanaan, khususnya dari aspek perundangan yang mengambil kira sumber mineral adalah di bawah kuasa kerajaan negeri sebagaimana yang termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan. Dalam masa yang sama, beberapa negeri juga telah mengambil langkah mewujudkan anak syarikat khusus untuk menguruskan pembangunan industri mineral di negeri masing-masing.
Kajian cadangan model perniagaan ataupun business model pembangunan industri NRREE di negara kita menetapkan agar pembangunan sumber ini melibatkan keseluruhan rantai nilai iaitu di huluan, pertengahan dan juga di hiliran.
Bagi merealisasikan perkara ini, kami sedang mengkaji beberapa model perniagaan iaitu, pertama, dipacu sepenuhnya daripada pihak industri atau swasta. Kedua ialah melalui pelaburan kerajaan negeri dengan kerjasama pihak industri ataupun swasta.
Ketiga, pelaburan kerajaan negeri dengan kerjasama syarikat berkaitan kerajaan ataupun GLC. Keempat, pelaburan sepenuhnya daripada syarikat GLC ataupun penubuhan satu entiti baru melalui syarikat bertujuan khas ataupun special purpose vehicle. Kami percaya bahawa apa jua yang kita lakukan, kita boleh buat dengan melalui kerangka perlembagaan yang sedia ada dan pada masa yang sama, kita menyedari keperluan untuk bertindak secara strategik bagi memajukan industri nadir bumi yang sangat kritikal pada waktu ini.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam - Tuan Nik Nazmi bin Nik Ahmad
Seterusnya, Yang Berhormat Pulai memohon kerajaan untuk mewujudkan satu dasar atau polisi yang holistik yang melibatkan kerajaan-kerajaan negeri bagi mengurus tadbir industri nadir bumi dengan lebih berkesan.
Kita sedang membangunkan Dasar Mineral Negara 3 yang menyediakan dasar yang jelas dan komprehensif untuk menyokong dan dijadikan panduan kepada pembangunan industri mineral negara termasuk unsur nadir bumi bukan radioaktif, NRREE. Dasar ini dirangka dengan tujuan antaranya dalam menyelesaikan isu-isu yang menyekat kemajuan industri serta menetapkan hala tuju baharu yang selari dengan perkembangan semasa. Dasar ini juga akan menyokong usaha kerajaan untuk membangunkan industri mineral ini secara menyeluruh merangkumi keseluruhan rantaian nilai khususnya bagi NRREE yang sedang diberi perhatian ketika ini.
Pembangunan Dasar Mineral Negara ini dihasilkan melalui input yang diterima daripada pihak berkepentingan sama ada Kerajaan Persekutuan, pihak berkuasa negeri, penggiat industri, ahli akademik, badan bukan kerajaan dan organisasi masyarakat sivil.
Dalam membangunkan dokumen ini, kita telah mengadakan beberapa sesi libat urus sepanjang tahun lepas dan kandungan yang dirangkumkan dalam dasar ini mengambil kira kepentingan semua pihak.
Bagi tujuan kawal selia NRREE secara khusus, kementerian telah pun membangunkan prosedur operasi standard (SOP) perlombongan NRREE yang telah pun diedarkan ke negeri-negeri. Antara contoh, Negeri Sembilan telah pun mengumumkan bahawa mereka mengguna pakai SOP yang kita hasilkan di peringkat Persekutuan ini.
Seterusnya, saya beralih kepada soal perhutanan dan biodiversiti. Yang Berhormat Hulu Selangor memohon penjelasan kerajaan tentang soal menangani soal konflik manusia dan hidupan liar, khususnya masalah monyet yang melakukan kerosakan dan mengganggu penduduk di kawasan perumahan.
Untuk makluman, NRES menerusi PERHILITAN telah melaksanakan pelbagai strategi untuk menangani konflik manusia dan kera. Antaranya seperti berikut:
(i) program penakaian kera yang bermasalah di kawasan yang berisiko;
(ii) kajian pemandulan kera;
(iii) program pelupusan bersepadu kera bagi membasmi musuh tanaman; dan
(iv) program perangkap komuniti dan kontrak khusus penangkapan kera kepada agensi swasta yang dilantik.
Di Semenanjung Malaysia, pasukan khas ataupun task force dan Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Konflik Manusia-Hidupan Liar juga telah diwujudkan bagi membincangkan penyelesaian isu konflik dan merangka pelan pelaksanaan pengurusan konflik manusia dan hidupan liar.
Di dalam Belanjawan 2024, kita telah umumkan diwujudkan Tabung Konflik Hidupan Liar dan Manusia untuk tujuan kerosakan harta benda dan tanaman bagi pekebun-pekebun kecil dan juga masyarakat Orang Asli. Kalau sebelum ini, kita ada tabung di bawah JKM untuk sumbangan mangsa yang cedera ataupun meninggal dunia akibat konflik manusia dan hidupan liar, sekarang kita ada pula tabung khusus untuk kerugian harta benda.
Seterusnya, Yang Berhormat Merbok...
Tuan Haji Mohd Hasnizan bin Harun - Hulu Selangor
Menteri.
Tuan Nik Nazmi bin Nik Ahmad
Ya.
Tuan Haji Mohd Hasnizan bin Harun - Hulu Selangor
Boleh? Sedikit sahaja.
Terima kasih Menteri di atas jawapan tadi. Cuma, saya sekadar ingin tahu. Pembangunan ini juga melibatkan KPKT. Adakah pihak kementerian berhubung dengan KPKT juga untuk
Tuan Haji Mohd Hasnizan bin Harun - Hulu Selangor
sesuatu pembangunan? Sebab, kesannya cukup besar kepada persekitaran yang ada di mana juga pembangunan yang ada sekarang. Terima kasih.
Tuan Nik Nazmi bin Nik Ahmad
Ya, sememangnya setiap pelan pembangunan yang diuruskan di peringkat pihak berkuasa tempatan di bawah bidang kawal selia KPKT, sememangnya kita meminta mereka untuk mengambil kira keadaan hidupan liar yang ada di sekeliling supaya apa jua yang mereka buat, mereka haruslah mengambil kira keadaan tersebut.
Seterusnya, Yang Berhormat Merbok memohon...
Dato’ Dr. Ahmad Yunus bin Hairi - Kuala Langat
Menteri.
Tuan Nik Nazmi bin Nik Ahmad
Ya.
Dato’ Dr. Ahmad Yunus bin Hairi - Kuala Langat
Terima kasih.
Saya ingat dalam perbahasan saya juga saya menyentuh soal isu kera ataupun monyet ini. Terutama pada tanaman dan juga rumah-rumah individu.
[Timbalan Yang di-Pertua (Dato’ Ramli bin Dato’ Mohd Nor) **mempengerusikan Mesyuarat****] Saya ingat kalau di Dewan Negeri Selangor, saya ingat dibincangkan begitu lama lebih daripada 10 tahun ya perbahasan ini dibangkitkan oleh Ahli-ahli Dewan Negeri.
Cuma, saya ingat secara realitinya, walaupun isu ini dibawa ke peringkat Mesyuarat Majlis Tindakan Daerah dan sebagainya. Tidak ada penyelesaian. Hari ini disediakan perangkap-perangkap monyet pun, monyet tak dapat ditangkap dan akhirnya, menyebabkan ketidaksejahteraan kepada masyarakat kampung. Masuk rumah, geledah dan sebagainya.
Saya ingat belum ada jalan penyelesaianlah. Saya harapkan mungkin agensi- agensi yang diberikan autoriti ini termasuklah mungkin PERHILITAN dan sebagainya terlibat dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Daerah dan memberikan cadangan- cadangan yang praktikal untuk kita, sama ada kalau kita nak musnahkan mungkin ada pihak-pihak yang tidak – yang akan menentang. Tetapi, apa jalan penyelesaiannya?
Terima kasih.
Tuan Nik Nazmi bin Nik Ahmad
Ia sememangnya, masalah ini menjadi semakin serius kerana memandangkan apabila dia berpunca, pokoknya ialah apabila masalah habitat mereka dimusnahkan. Apabila manusia semakin dekat dengan tempat-tempat mereka, maka tentu konflik ini bertambah dan ini secara menyeluruh sama ada melibatkan gajah, melibatkan harimau, melibatkan kera dan sebagainya di seluruh negara.
Dia tidak ada penyelesaian yang mudah. Saya setuju dan kadang-kadang kita dengan izin, we play catch-up dengan masalah ini yang mana peruntukan dipihak PERHILITAN pun, kalau apa yang mungkin cukup lima tahun yang lepas untuk menangani isu ini sekarang sudah tidak cukup. Bukan hanya soal harga barang naik tetapi soal masalahnya krisis ini berlaku semakin kerap. Jadi, sebab itu kita perlu ada beberapa pendekatan, selain daripada kita cuba untuk memindahkan binatang ini dan sebagainya tetapi kedua juga kita kena realiti dia ialah kena ada juga kesedaran bagaimana untuk coexist, dengan izin dengan binatang-binatang ini.
Contohnya tindakan yang sering dibuat seperti memberi makan kepada hidupan- hidupan liar. Itu sebenarnya tidak baik kerana ia sebenarnya menggalakkan mereka untuk datang dan juga kadang-kadang mengubah sikap mereka sendiri. Jadi, ada setengah binatang liar misalnya mereka dah ada kes-kes tertentu yang mana mereka belajar makan yang makanan yang mereka disuap. Jadi, mereka dah tak minat nak cari makanan di dalam hutan kerana perkara tersebut dan itu menjadi satu masalah apabila mereka mencari bahan makanan tersebut di kawasan penempatan manusia. Jadi, pendekatan ini saya setuju dan mungkin kita akan lihat apa yang lebih menyeluruh untuk kita buat, untuk kita menangani sebaik mungkin soal konflik hidupan liar dan manusia ini.
Tuan Nik Nazmi bin Nik Ahmad
Seterusnya, Yang Berhormat Merbok bercakap tentang soal menyelesaikan isu pembuangan sampah haram yang berlaku di Hutan Paya Bakau di sepanjang Sungai Merbok di Segantang Garam. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, kementerian melalui Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK) telah membuat semakan ke atas isu pembuangan sampah ini dan mendapati ia berlaku di luar hutan simpanan kekal. Jadi, bukan dalam kawasan HSK. Ia berada di bawah kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) yang mana penguatkuasaan ke atas aktiviti pembuangan sampah yang dilakukan secara haram dan kerja-kerja pembersihan kawasan berkenaan adalah di bawah tanggungjawab PBT.
Namun, sekiranya ada berlaku aktiviti pembuangan sampah di dalam kawasan hutan simpanan kekal (HSK) tindakan boleh diambil di bawah seksyen 83 Akta Perhutanan Negara 1984 yang mana sekiranya disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau dipenjarakan selama tidak melebihi tiga tahun ataupun kedua-duanya sekali.
Seterusnya, Yang Berhormat Merbok dan Yang Berhormat Sik meminta kerajaan untuk mempertimbangkan bayaran setimpal kepada Kerajaan Negeri Kedah bagi pemeliharaan dan pemuliharaan Hutan Ulu Muda yang menjadi nadi kepada penggunaan air, makanan dan sumber tenaga kepada negeri-negeri Kedah dan juga negeri-negeri jiran.
Tuan Yang di-Pertua, buat masa ini sememangnya tiada dasar khusus tentang soal pampasan kepada kerajaan negeri bagi mengekalkan hutan simpanan kekal ataupun HSK. Namun, apa yang kita ada ialah sejak tahun 2019 hasil kerjasama kita dengan pihak PBB, kerajaan telah melahirkan dasar ecological fiscal transfer (EFT) ataupun insentif kewangan bagi konservasi, biodiversiti dan hutan kepada kerajaan-kerajaan negeri yang mengambil usaha melindungi kawasan hutan tadahan air dan kawasan hutan perlindungan sedia ada serta menambah kawasan-kawasan tersebut.
Bagi tempoh 2019 hingga 2023, Kerajaan Negeri Kedah telah menerima peruntukan EFT yang berjumlah RM24,846,634. Penyaluran EFT pada tahun ini akan dilaksanakan pada bulan Mac, setelah kita menerima laporan pelaksanaan EFT pada tahun 2023. Di bawah garis panduan pelaksanaan EFT, ada enam skop perbelanjaan meliputi aktiviti projek yang boleh dilaksanakan.
(i) pemeliharaan kawasan perlindungan ataupun dengan izin, protected areas yang sedia ada dan usaha ke arah menambah kawasan perlindungan baharu;
(ii) pemuliharaan, restorasi dan pengayaan bagi pengekalan kawasan perlindungan;
(iii) penyediaan dan pengurusan kemudahan di kawasan perlindungan;
(iv) pelaksanaan operasi risikan dan penguatkuasaan bagi pengawalan sumber ekosistem flora dan fauna;
(v) pelaksanaan program penglibatan komuniti dan pembangunan kapasiti; dan
(vi) pelaksanaan program bagi menggalakkan amalan pengurusan hutan secara berkekalan.
Justeru, kita berharap kerajaan-kerajaan negeri memanfaatkan insentif kewangan EFT ini secara optimum bagi membantu mereka menguruskan kawasan hutan dan juga aktiviti konservasi yang lain dan untuk maklumat, kalau buat masa ini kita bagi lebih banyak perkiraan terhadap kuantiti iaitu luas hutan di setiap negeri. Kita dalam proses, menjelang tahun 2030, sedikit demi sedikit kita akan tambah komponen penilaian daripada aspek kualiti, iaitu usaha-usaha konservasi yang dibuat oleh kerajaan negeri yang tersebut. Jadi, itu yang kita lakukan sebagai satu galakan dan insentif kepada kerajaan negeri dalam pemuliharaan hutan.
Tuan Nik Nazmi bin Nik Ahmad
Yang Berhormat Padang Terap memohon kerajaan mengambil tindakan segera bagi penyelesaian isu serangan gajah liar di Daerah Padang Terap seperti meluluskan bajet bagi pembinaan sistem pagar elektrik gajah serta memberi insentif bayaran bantuan kepada pengusaha kebun yang mengalami kerugian akibat serangan gajah liar dan juga mempertimbangkan pembinaan sanctuary gajah di Hutan Simpan Pedu sebagai penyelesaian jangka masa panjang.
Tuan Yang di-Pertua, NRES melalui PERHILITAN telah melaksanakan beberapa tindakan bagi mengatasi masalah konflik gajah di Daerah Padang Terap.
Pertama, melaksanakan 53 program pemantauan keliaran gajah, kawalan keselamatan dan juga operasi tembak halau bagi tahun 2023 dan 55 program bagi tempoh Januari dan Februari 2024 sahaja, tahun ini. Untuk mencegah gajah dari memasuki kawasan perumahan penduduk setempat.
Kedua, membina sistem pagar elektrik gajah mudah alih di Kampung Belantik, Sik dengan jajaran tujuh kilometer sejak 14 Ogos 2022.
Ketiga, menjalankan kerjasama dengan komuniti setempat untuk memantau dan menyenggara sistem pagar elektrik secara berkala dan dipantau oleh PERHILITAN Daerah Sik.
Keempat, memasang dua unit kolar satelit bagi kumpulan gajah Ulu Muda yang telah dikenal pasti bagi memantau pergerakan kumpulan ini dan mengambil tindakan pencegahan awal sekiranya mereka, kumpulan tersebut menghampiri kawasan kampung atau pertanian.
Kelima, menjalankan operasi tangkap pindah gajah yang melibatkan sepasang gajah dari Kampung Belantik pada tahun 2023 dan dua ekor gajah jantan pada tahun ini.
Masing-masing dari Kampung Belantik dan Kampung Lekong ke Taman Negeri Royal Belum di Perak.
Bermula Mac 2024, kerajaan telah memperkenalkan inisiatif bantuan kerugian harta benda dan tanaman akibat serangan hidupan liar dengan peruntukan sebanyak RM10 juta. Ia adalah bantuan kewangan yang diberi secara one-off kepada kumpulan sasar yang mengalami kerosakan dan kemusnahan harta benda, tanaman, akibat serangan hidupan liar, tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan. Jadi, target kita ialah masyarakat orang kampung ataupun masyarakat Orang Asli yang bersifat pekebun kecil.
Kementerian menyambut baik cadangan Ahli Yang Berhormat berhubung pembinaan sanctuary gajah di Hutan Simpan Pedu sebagai satu penyelesaian jangka masa panjang. Kalau berdasarkan saiz keluasan hutan simpan ini, ia dipercayai sesuai untuk habitat hidupan liar termasuk gajah. Namun, kita perlu berbincang lanjut dengan kerajaan negeri selaku pemilik tanah.
Seterusnya, Yang Berhormat Permatang Pauh memohon penjelasan kerajaan berhubung punca sebenar pencemaran di Sungai Air Merah dan Sungai Kulim yang dilihat bercanggah dengan kenyataan Exco negeri Pulau Pinang dan apakah tindakan yang diambil oleh kerajaan bagi mengatasi isu ini?
Tuan Yang di-Pertua, NRES menerusi Jabatan Alam Sekitar telah melakukan penyiasatan berdasarkan maklumat awal dari stesen pemantauan kualiti air, automatic upstream Sungai Kulim iaitu di dalam sempadan negeri Kedah yang menunjukkan bacaan ammonia nitrogen antara 2.0 hingga 4.0mg per liter.
Tuan Nik Nazmi bin Nik Ahmad
Berdasarkan kepada keputusan ujian yang dijalankan, dapat disimpulkan paras peningkatan bacaan nitrogen ini adalah daripada bahagian upstream Sungai Kulim.
Susulan daripada laporan Berita Harian pada 18 Februari 2024, JAS Pulau Pinang telah menyertai satu operasi bersepadu pada 19 Februari, yang diketuai oleh Bahagian Kawal Selia Air, Pejabat SUK Pulau Pinang, Exco Agroteknologi, Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi dan juga Pengarah Veterinar Pulau Pinang.
Tuan Nik Nazmi bin Nik Ahmad
Maka siasatan yang didapati di sana ialah pertama, sememangnya ada ladang khinzir, yang mana didapati sistem najis ditempatkan di dalam kolam takungan secara close system, dengan izin dan tiada sebarang pelepasan daripada kolam takungan ke alur air terdekat. Siasatan terperinci juga mendapati terdapat aliran air berwarna hitam yang mengandungi bulu ayam dan itik di alur air yang berdekatan.
Seterusnya pihak jabatan telah menemui ladang penternakan itik baka iaitu dalam 100 meter daripada alur air tersebut, yang mana terdapat lebih kurang 100,000 ekor itik baka di ladang itu. Hasil pemerhatian dan tinjauan, didapati pelepasan air tanpa rawatan daripada kolam takungan air sisa ladang penternakan itik tersebut ke alur air Sungai Merah.
Tuan Muhammad Fawwaz bin Mohamad Jan - Permatang Pauh
[Bangun]
Tuan Nik Nazmi bin Nik Ahmad
Susulan itu, kenyataan media telah dikeluarkan oleh Exco Agroteknologi Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi Pulau Pinang dan Pengarah Veterinar di lokasi siasatan. Tuan Yang di-Pertua, isu pencemaran yang melibatkan ternakan..
Tuan Muhammad Fawwaz bin Mohamad Jan - Permatang Pauh
Baik, terima kasih, Yang Berhormat Menteri. Terima kasih, Yang di-Pertua. Jadi, bila berdasarkan jawapan daripada Yang Berhormat Menteri tadi, maknanya laporan yang mengatakan bahawa pencemaran itu ia berasal daripada itik. Jadi, dia bukan berasal daripada babilah.
Jadi nampak gaya di sini akan ada percanggahan antara Jabatan Alam Sekitar Pulau Pinang dan Jabatan Alam Sekitar Kedah, itu satu.
Kedua, saya hendak tanya apa tindakan ataupun jaminan pihak kementerian, berkaitan dengan isu penternakan yang dibuat tidak sah di tepi-tepi sungai ini. Jadi, kalau tidak ada sebarang tindakan daripada pihak kerajaan, kita takut di masa akan datang ia akan timbul lagi isu pencemaran seperti ini. Terima kasih, Yang Berhormat Menteri.
Tuan Sanisvara Nethaji Rayer a/l Rajaji - Jelutong
Yang Berhormat Menteri, Yang Berhormat Menteri. Saya berterima kasih di atas penjelasan yang telah diberikan bahawa pencemaran itu berlaku akibat pencemaran ataupun pelepasan air ternakan unggas dan bukannya khinzir seperti yang telah dilaporkan dan saya juga mengambil kesempatan ini sebagai Ahli Parlimen daripada Pulau Pinang untuk merakamkan ucapan terima kasih kerana perkara ini sering kali menjadi polemik di masyarakat tempatan di sana tentang kenapakah kerajaan negeri tidak mengambil langkah-langkah untuk mengawal penternakan khinzir dan sebagainya.
Cuma saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada kementerian dan Yang Berhormat Menteri di atas penjelasan yang telah diberikan. Saya berharap bahawa penjelasan itu adalah begitu jelas dan tidak lagi akan digunakan sebagai bahan polemik oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab untuk menuduh Kerajaan Negeri Pulau Pinang kononnya tidak mengambil tindakan di atas penternakan khinzir yang tidak terkawal. Terima kasih Yang Berhormat Menteri.
Tuan Nik Nazmi bin Nik Ahmad
Ya, sebagaimana yang saya sebut sebentar tadi apa yang kita sebut tentang punca ini ialah akibat hasil daripada lawatan yang telah dibuat oleh pihak berkuasa itu, yang di mana mereka telah melihat bahawa di tempat kawasan ladang khinzir itu, tiada aliran air yang keluar, ia bersifat tertutup. Manakala di dalam aliran air yang ada di dalam sungai itu didapati ada punca daripada ladang itik yang disebut sebentar tadi.
Untuk makluman, isu pencemaran ini sememangnya di kawasan di tepi-tepi sungai ini daripada hasil ternakan ialah satu masalah yang kita hadapi dari masa ke semasa. Tidak kira ternakan apa pun, sekiranya sisa mereka ataupun ada bahan-bahan buangan yang masuk secara terus kepada aliran air, ia akan mendatangkan masalah.
Justeru sebab itu di dalam Majlis Air Negara pada tahun lepas, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri telah menugaskan Yang Amat Berhormat Timbalan Perdana Menteri Dato’ Sri Fadillah untuk mempengerusikan satu jawatankuasa khusus melihat tentang soal kualiti sungai-sungai yang ada di negara kita supaya kita ada satu
Tuan Nik Nazmi bin Nik Ahmad
penyelesaian yang bersifat holistik kerana ia sememangnya melibatkan banyak pihak sama ada JPS, pihak PBT, pihak veterinar, Jabatan Alam Sekitar dan lain-lain lagi.
Jadi kita akan memang ada tumpuan khusus yang kita buat ekoran daripada Mesyuarat Majlis Air tersebut dan isu pencemaran yang melibatkan ternakan kalau di kes Pulau Pinang ini tertakluk kepada Enakmen Penternakan Unggas Negeri Pulau Pinang 2020 dan Enakmen Penternakan Babi Pulau Pinang 2016. Maka tindakan penguatkuasaan jatuh di bawah pihak berkuasa negeri.
Seterusnya Jabatan Veterinar selaku pihak yang mempunyai kuasa telah mengeluarkan notis penutupan, pemberhentian operasi dan penutupan ladang kepada ladang-ladang yang tidak memperoleh lesen yang sah untuk beroperasi. Secara dasarnya, kita memang menyokong dan memberi kerjasama rapat kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang bagi menangani masalah pencemaran yang berpunca daripada penternakan melalui pengawasan berterusan dengan kita melihat parameter bacaan parameter ammoniacal nitrogen yang melebihi had yang ditetapkan di Sungai Kulim, Pulau Pinang.
Seterusnya Yang Berhormat Sibu menjelaskan peratus sasaran menggantikan kenderaan Internal Combustion Engine (ICE) dengan kenderaan EV ataupun kenderaan elektrik. Adakah kerajaan juga bercadang memberi insentif untuk menggalakkan penggunaan kenderaan yang mempunyai karbon yang lebih rendah seperti yang menggunakan enjin hybrid.
NRES telah membangunkan Pelan Pembangunan Mobiliti Rendah Karbon (Low Carbon Mobility Blueprint) 2021 – 2030 bagi mengurangkan pelepasan gas rumah kaca sektor pengangkutan darat dan telah menggariskan pelbagai strategi dan juga pelan tindakan. Di bawah bidang fokus B pengurangan GSG dan penggunaan tenaga melalui penggunaan EV, kerajaan telah mensasarkan sebanyak 15 peratus jualan EV berbanding total industry volume, dengan izin pada tahun 2030.
Namun kalau kita lihat pada bidang fokus A di bawah pelan ini, pengurangan GSG dan penggunaan tenaga melalui penggunaan kenderaan cekap tenaga, impak pengurangan dilihat dapat dicapai dengan lebih berkesan. Pelbagai pelan tindakan telah dirangka dan dalam proses untuk dilaksanakan bagi menggalakkan penggunaan ICEKAP tenaga seperti modul ekopemanduan mekanisme insentif berdasarkan pelepasan GSG yang lebih berkesan serta pelabelan GSG dan cekap tenaga kenderaan.
Di samping itu pelan tindakan berkaitan bahan api alternatif seperti biobahan api dan biodiesel turut diteroka di bawah bidang fokus C bagi pengurangan GSG dan penggunaan tenaga dari sektor bahan api. Misalnya di Indonesia, mereka telah pun menggunakan kandungan biodiesel, kandungan sawit di dalam biodiesel yang lebih tinggi daripada banyak negara lain sebagai salah satu usaha untuk mempopularkan penggunaan biodiesel.
Seterusnya Yang Berhormat Kubang Kerian memohon kerajaan menjelaskan sasaran dan strategi kerajaan dalam pembangunan infra menyokong penggunaan EV, seperti stesen pengecas awam dan apakah langkah untuk menggalakkan penggunaan pengangkutan awam. Bagi mempercepatkan penggunaan EV, merujuk kepada blueprint yang saya sebut sebentar tadi, kerajaan telah mensasarkan 10,000 unit stesen pengecas awam dengan jumlah 450 unit pengecas EV awam di sepanjang lebuh raya, di hentian rehat dan rawat dan juga stesen minyak.
Setakat 31 Disember 2023, telah ada 2,020 unit yang telah beroperasi. Namun tidak dinafikan peningkatan stesen pengecas EV, khususnya di Pantai Timur kian meningkat dari masa ke semasa dan memerlukan perhatian lanjut. Susulan itu, ahli-ahli EV task force yang diterajui oleh Kementerian Pelaburan dan Perdagangan Antarabangsa
(MITI) sedang memudah cara pelbagai proses dan kelulusan pemasangan pengecas EV sama ada kebenaran merancang oleh PBT, sijil keselamatan kebakaran oleh bomba, lesen pengagihan awam oleh Suruhanjaya Tenaga dan lain-lain lagi.
Selain itu EVTF turut bekerjasama dengan pihak syarikat Charge Point Operators dan syarikat pengendali konsesi lebuh raya bagi mempercepat pertambahan stesen pengecas EV awam, termasuk di Pantai Timur. Dalam pada itu bagi menjawab persoalan
Tuan Nik Nazmi bin Nik Ahmad
berkaitan pengangkutan awam yang merupakan fokus di bawah blueprint dalam bidang fokus D, pengurangan GSG dan pengurangan tenaga melalui peralihan mod pengangkutan. Pelbagai kajian sedang dilaksanakan untuk menyokong peralihan mod pengangkutan termasuk kajian-kajian untuk memahami impak dan keberkesanan perubahan mod pengangkutan terhadap persekitaran, bersesuaian dengan keperluan komuniti dan aspek ekonomi yang berkaitan.
Tuan Nik Nazmi bin Nik Ahmad
Pelbagai langkah proaktif telah dirancang dan dilaksanakan oleh pelbagai pihak seperti Prasarana sebagai agensi yang bertanggungjawab terhadap pembangunan dan penyelenggaraan infrastruktur pengangkutan awam dalam menyokong peralihan mod pengangkutan ini.
Sebagai contoh, Prasarana dan beberapa operator bas lain turut merancang dan membuat pembelian bas elektrik sebagai salah satu inisiatif mengurangkan GHT dan penggunaan tenaga dari sektor pengangkutan awam dan darat. Kementerian Pengangkutan turut menggalakkan pembelian bas baharu yang merangkumi pelbagai jenis teknologi termasuk DRT atau demand-responsive transport yang membolehkan penumpang membuat pesanan bas secara langsung dan bas kecil untuk memudahkan akses kepada kawasan-kawasan dengan jalan kecil.
Ini ialah public 87ranspor ton demand yang mana tidak tertakluk kepada jadual tetapi kepada permintaan pengguna dan ini ada dibuat di pelbagai peringkat. Misalnya Kumpool satu inisiatif yang dibuat di Petaling Jaya. Seterusnya Yang Berhormat Simpang Renggam memohon kerajaan untuk...
Tuan Haji Ahmad Fadhli bin Shaari - Pasir Mas
Menteri, berkenaan dengan pengecas. Saya membaca laporan bagaimana dalam Pelan Pembangunan Mobiliti Rendah Karbon 2021-2030 memang sudah diletakkan sasaran 10,000 stesen pengecas menjelang 2025. Tapi saya baca kenyataan Menteri MITI bahawa kerajaan akan mengkaji balik kerana sekarang Cuma ada 1,500 pengecas. Berdasarkan kenyataan oleh Menteri, adakah kerajaan meletakkan balik sasaran 2025 dengan 10,000 stesen pengecas? Dan adakah ia agak-agak boleh dicapai? Terima kasih.
Tuan Nik Nazmi bin Nik Ahmad
Ya, sebagaimana saya maklum tadi angka terkini yang kita ada pada 31 Disember 2023 ialah sebanyak 2,020 unit ya dan sememangnya jauh daripada sasaran. Antara punca kelewatan sebagaimana ada saya sebut sebentar tadi satu, kita lihat ada kelewatan daripada sudut untuk mendapat sijil daripada pihak bomba. Ada beberapa garis panduan yang ada di pihak bomba sebelum ini agak ketat ataupun konservatif yang menyekat pemasangan pengecas di beberapa kawasan, terutamanya di tempat letak kereta bawah tanah dan sebagainya.
Kedua, begitu juga kelulusan Suruhanjaya Tenaga. Dulu kena tunggu mesyuarat dahulu, baru selepas mesyuarat Lembaga Suruhanjaya Tenaga, barulah kelulusan diberikan ataupun permit diberikan. Maka kita telah cuba mempercepatkan beberapa perkara ini.
Contohnya bomba telah melonggarkan beberapa syarat-syarat yang mereka perlukan. Kita juga berbincang dengan PBT-PBT untuk memudahkan pemasangan tersebut. Dan aspek ketiga juga di peringkat ST misalnya, ST membenarkan orang yang kompeten, yang dilantik oleh syarikat-syarikat pengecas ini mereka dah boleh signed dan itu diterima sebagai lulus. Tak perlu nak tunggu ST bermesyuarat kemudian.
Jadi ini antara inisiatif yang diperbuat tetapi saya rasa sebab itu masih banyak lagi kelewatan yang diperlukan dan kita sedang melihat beberapa langkah untuk mempercepatkan dan ini juga ada elemen apa yang dikata telur dan ayam. Bila- sebab itu kerajaan telah mengumumkan tahun ini kita akan memulakan perolehan kenderaan EV untuk kerajaan dengan harapan bahawa ini juga akan melonjakkan permintaan untuk pengecas-pengecas yang ada.
Seterusnya, Yang Berhormat Simpang Renggam memohon kerajaan menjelaskan peranan serta strategi dalam penyebarluasan hebahan serta perkongsian
Tuan Nik Nazmi bin Nik Ahmad
pengetahuan tentang soal perubahan iklim kepada kerajaan negeri, kerajaan tempatan dan juga rakyat negara ini.
Tuan Yang di-Pertua, NRES melalui pelbagai medium telah melaksanakan program SEPA ataupun kesedaran awam untuk membentuk kesedaran dan kefahaman kepada masyarakat tentang isu perubahan iklim di peringkat antarabangsa dan juga di peringkat nasional. Antara inisiatif hebahan dan pelaksanaan yang kita buat termasuklah penglibatan dan hebahan melalui media masa, terutamanya menjelang COP 28 yang mana ada lebih kurang 1,028 liputan media, penganjuran seminar dalam talian atau webinar berkaitan perubahan iklim dan pembangunan rendah karbon mengenai topik pelepasan gas rumah kaca dan juga agenda kelestarian.
Memperkasa peranan masyarakat sivil, terutamanya pertubuhan-pertubuhan belia. Kita melibatkan mereka di dalam panel konsultasi perubahan iklim dan sesi bersama golongan belia dan termasuk persatuan belia, graduan universiti yang kita buat, termasuk dengan platform Yayasan Hijau, pembangunan kapasiti dan kesedaran bersama kementerian, agensi kerajaan, kerajaan negeri, sektor swasta, badan akademik dan NGO dan juga kerjasama dengan agensi antarabangsa seperti UNDP dan UNICEF bagi melaksanakan kaji selidik kesedaran program pembangunan kapasiti berkaitan perubahan iklim di Malaysia dan juga menyokong pelaksanaan program pemuliharaan alam sekitar dan perubahan iklim di peringkat komuniti menerusi Global Environment Facility-Small Grants Program sejak tahun 2021.
Sehingga Mac 2024, program ini telah membiayai sebanyak 268 projek berkaitan alam sekitar, perubahan iklim, biodiversiti dan juga kemerosotan tanah dan juga saya ingin memuji inisiatif yang telah dibuat oleh Kerajaan Negeri Johor yang mana dengan kerjasama pada waktu itu NRECC. Kita telah melaksanakan Asia-Pacific Climate Week di Johor Bahru.
Ini merupakan satu program yang dibuat menjelang COP 28 dan ia telah menyaksikan kehadiran Menteri-menteri dan juga ketua-ketua agensi daripada seluruh rantau Asia Pasifik ke program tersebut dan kita berharap kita akan ada lebih banyak lagi program seperti ini bukan hanya di Kuala Lumpur tetapi juga di peringkat-peringkat negeri.
Seterusnya Yang Berhormat Batu Pahat memohon kerajaan menjelaskan perancangan dan tindakan kita dalam menangani soal perubahan iklim seperti cuaca panas melampau yang sudah pun mula melanda negara ketika ini. Buat masa ini, Malaysia berada pada fasa akhir monsun timur laut yang dijangka berterusan sehingga penghujung Mac tahun ini. Dalam tempoh ini, litupan awan dan taburan hujan kelazimannya adalah kurang di kebanyakan tempat, terutamanya di utara Semenanjung termasuk Perak, Pahang dan Kelantan.
Ketiadaan hujan dalam tempoh yang lama boleh menyebabkan cuaca lebih panas dan kering berbanding biasa. Untuk makluman, cuaca panas yang dialami pada ketika ini di beberapa negeri di utara Semenanjung adalah satu fenomena berulang berlaku saban tahun pada setiap Februari sehingga Mei. Ditambah pula kita sekarang berada dalam fasa El-Nino yang kuat yang sedang melanda dunia pada ketika ini, yang dijangkakan suhu maksimum harian di negara kita boleh menjadi lebih tinggi di kebanyakan tempat.
Kekuatan fenomena El-Nino juga dijangka berkurangan dan menjadi neutral pada pertengahan tahun 2024. Bagi memantau keadaan ini, METMalaysia, Jabatan Metrologi melaksanakan pertama pemantauan suhu maksimum harian bagi menentukan status cuaca panas negara di seluruh negara pada setiap hari, laporan bilangan hari tanpa hujan setiap hari, penyediaan maklumat dan ramalan kawalan yang berisiko untuk berlaku kebakaran hutan dan tanah gambut melalui fire danger rating system (FDRS) yang dikemas kini setiap hari.
Ini dikendalikan oleh METMalaysia dan dijadikan rujukan oleh seluruh rantau ASEAN. Pemantauan status El-Nino dan ia dikemas kini pada setiap bulan dan pengeluaran Indeks Pemantauan Kemarau (SPI) yang dikemas kini pada setiap bulan bagi memantau situasi kemarau berdasar Peraturan Tetap Pengendalian Bencana Kemarau Kebangsaan.
Tuan Nik Nazmi bin Nik Ahmad
Semua maklumat ini boleh diakses secara terbuka di laman sesawang dan media sosial rasmi METMalaysia. METMalaysia turut menyampaikan taklimat cuaca di Mesyuarat Jawatankuasa Bencana di peringkat daerah dan negeri. Pada masa yang sama, METMalaysia sentiasa bersedia untuk melaksanakan operasi pembenihan awan dengan kerjasama NADMA dan TUDM, tertakluk kepada keadaan atmosfera yang sesuai bagi memastikan kejayaannya. Kita juga telah adakan Mesyuarat Jawatankuasa Cuaca Panas dan Kering Kebangsaan pada awal tahun ini untuk berdepan dengan situasi ini.
Jadi, terima kasih kepada Yang Berhormat-Yang Berhormat semua yang telah turut serta dan di peringkat NRES, kami ucapkan penghargaan kepada...
Tuan Haji Bakri bin Jamaluddin - Tangga Batu
Menteri, Yang Berhormat Menteri, Tangga Batu sedikit. Dalam perbahasan saya, saya menyentuh soal penambakan pantai yang berlaku di Melaka, di Klebang dan sebagainya. Jadi, saya dapati bahawa Melaka akan tambak lagi dua buah pulau buatan dan ia akan sebenarnya akan menjadikan kawasan nelayan dan kawasan Pelabuhan Tanjong Beruas itu jadi konflik, makin sempit dan juga hakisan yang semakin teruk di Melaka. Apakah tindakan yang perlu diambil oleh kementerian untuk mengatasi masalah ini? Sekian, terima kasih.
Tuan Nik Nazmi bin Nik Ahmad
Saya percaya isu ini akan disentuh sebab ini di bawah JPS yang berada di bawah Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, akan disentuh dalam sesi penggulungan tersebut. Jadi terima kasih daripada pihak NRES untuk 11 Ahli Parlimen yang telah turut serta dan membangkitkan isu-isu di bawah Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Terima kasih Yang Berhormat Menteri. Saya tidak expect benda ini boleh habis awal tetapi alhamdulillah.
Usul telah menyatakan sehingga habis pembahas. Maka itu dengan sedemikian, dengan sedemikian maka Dewan ditangguh sehingga esok pukul 10 pagi.
[Dewan ditangguhkan pada pukul 4.30 petang]