Katalog Hansard
[Timbalan Yang di-Pertua (Puan Alice Lau Kiong Yieng) **mempengerusikan Mesyuarat****]
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Saya jemput Tuan Syahredzan bin Johan, Bangi.
Tuan Syahredzan bin Johan - Bangi
Terima kasih, Puan Yang di-Pertua.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam Malaysia Madani.
1. Tuan Syahredzan bin Johan [Bangi] minta Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya menyatakan kebelakangan ini bilangan pelancong yang masuk ke negara kita kian meningkat dengan kadar yang memberangsangkan. Apakah langkah-langkah yang dilakukan oleh pihak kementerian dalam memastikan 'chartered flights' yang membawa pelancong ke dalam negara akan menyumbang kepada peningkatan bilangan pelancong dan seterusnya membantu dalam meningkatkan ekonomi negara.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Silakan Menteri.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya - Dato Sri Tiong King Sing
Terima kasih Yang Berhormat Bangi bagi soalan kemukakan kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) ini. Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), melalui agensi Tourism Malaysia sentiasa melaksanakan pelbagai inisiatif bagi menarik lebih ramai pelancong asing melawat Malaysia.
Antaranya adalah meningkatkan kekerapan penerbangan melalui penerbangan berjadual dan sewa khas (chartered flights). Dalam hal ini, Tourism Malaysia telah menyediakan geran sepadan penerbangan antarabangsa dan charter kepada syarikat- syarikat penerbangan tempatan dan antarabangsa.
Antara penerbangan yang dibawa masuk melalui GSPC bagi meningkatkan kekerapan penerbangan dan kapasitinya tempat duduk adalah penerbangan berjadual
(scheduled flights) Dubai, UAE, Kuala Lumpur dan Karachi. Bagi sekarang Kuala Lumpur oleh Batik Air. Penerbangan berjadual dari Amritsar, Tribhuvan ataupun Ahmedabad, India ke Malaysia oleh Malaysia Airlines. Tujuh laluan menggunakan penerbangan sewa khas dari bandar-bandar first and second tier (TBRC) bagi penumpang, permintaan semasa perayaan Tahun Baru Cina dan cuti spring festival seperti Nanjing–Tawau, Chengdu–Kuala Lumpur, Xi An–Kuala Lumpur, Chengdu–Langkawi, Chengdu–Kota Kinabalu, Chongqing–Langkawi, Xinyang–Kuala Lumpur.
Selain itu, Malaysia turut menerima beberapa laluan lagi penerbangan baru.
Antaranya adalah dari Asia Barat, Dubai-Langkawi-Pulau Pinang oleh Flydubai, Baghdad– Kuala Lumpur oleh Iraqi Airways, Jeddah–Kuala Lumpur oleh Batik Air. Dari Asia Tenggara; Sophia, Turki–Kuala Lumpur oleh Batik Air, Ashgabat–Kuala Lumpur oleh Tasman Airline,
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya - Dato Sri Tiong King Sing
Duncan–Kuala Lumpur oleh Batik Air. Dari Asia Utara; Kaohsiung–Kuala Lumpur oleh Batik Air, Siam–Kuala Lumpur oleh AirAsia. Dari ASEAN; Batam–Kuala Lumpur oleh Batik Air.
Manakala, penerbangan dijangka akan memulakan penerbangan baharu di Malaysia adalah seperti berikut. Dari Eropah, London–Kuala Lumpur oleh British Air. Dari ASEAN; Phnom Penh–Kuala Lumpur oleh Cambodia Airways. Changi–Sibu oleh Scoot. Sekian, terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Bangi.
Tuan Syahredzan bin Johan - Bangi
Terima kasih YB Menteri atas jawapan yang saya fikir memuaskan tadi, ya. Untuk soalan susulan saya YB Menteri, saya ingin bertanya tentang isu chartered flights ini. Saya ingin tahu, adakah pemainnya terdiri daripada syarikat penerbangan luar negara ataupun syarikat penerbangan domestik, yang mana mendominasi industri ini?
Sebab saya fikir YB Menteri, dengan potensi yang ada dan juga dengan the serious push, dengan izin, tahun ini daripada dalam sektor pelancongan ini, pihak kementerian diharapkan dapat membantu untuk mengangkat jenama penerbangan Malaysia. Terima kasih.
Dato Sri Tiong King Sing
Terima kasih Yang Berhormat Bangi. Tuan Yang di- Pertua, menurut Malaysia Airport Holdings Berhad bagi tahun 2023, sebanyak 56 peratus perkhidmatan penerbangan sewa khas ke Malaysia adalah melalui syarikat penerbangan domestik Malaysia.
Manakala, bagi tahun 2024, syarikat penerbangan domestik seperti Malaysia Airlines, Firefly dan Batik Air yang menawarkan perkhidmatan penerbangan sewa khas
(chartered flights) bagi laluan penerbangan daripada bandar-bandar second tier. Sekian, terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Maran.
Dato’ Sri Dr. Haji Ismail bin Abd Muttalib - Maran
Terima kasih, Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua. Terima kasih Menteri. Soalan saya, kita pernah mendengar kenyataan bahawa kurang lebih 1 juta warga China yang– pelancong warga China yang hilang dalam radar maklumat di negara kita kerana mereka tidak pulang ke negara asal mereka.
Saya kira bukan sahaja daripada warga China, bahkan daripada negara lain juga.
Mungkin Arab Saudi, Eropah, Bangladesh dan lain-lain.
Saya kira mereka juga terlibat dalam keadaan ini dan mungkin hilang daripada radar kita dan tidak pulang ke negara masing-masing.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Soalan.
Dato’ Sri Dr. Haji Ismail bin Abd Muttalib - Maran
Sebenarnya, berapakah jumlah pelancong-pelancong asing ini yang tidak pulang ke negara mereka, yang masih berada di negara kita dan apakah kesannya jika mereka ini tidak diambil tindakan selanjutnya? Terima kasih.
Dato Sri Tiong King Sing
Terima kasih Yang Berhormat Maran. Ini soalan — Terima kasihlah kepada sahabat saya, tapi saya minta maaf, ini bukan bidang kuasa kita, kementerian MOTAC. Kalau boleh, kemukakan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN), fasal dia orang menjaga masuk dan keluar. Sekian, terima kasih.
Datuk Wira Mas Ermieyati binti Samsudin - Masjid Tanah
Yang Berhormat Speaker, minta Masjid Tanah bagi...
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Saya jemput Dato’ Hajah Siti Zailah binti Mohd Yusoff, Rantau Panjang.
Dato' Siti Zailah binti Mohd Yusoff - Rantau Panjang
Terima kasih Puan Yang di- Pertua. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.
2. Dato' Siti Zailah binti Mohd Yusoff [Rantau Panjang] minta Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air menyatakan apakah mekanisme penyelarasan antara agensi yang dilaksanakan untuk menghadapi musim kemarau di mana banyak kawasan menghadapi masalah kekurangan air dan sejauh mana usaha memanfaatkan air banjir sebagai persiapan menghadapi musim kemarau terutama di negeri-negeri yang memerlukan.
Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air - Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof
Bismillahi Rahmani Rahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Tuan Yang di-Pertua, Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, singkatannya PETRA bekerjasama dengan agensi di peringkat Persekutuan dan negeri bagi mencegah pencemaran sumber air terutama semasa musim kemarau untuk menjamin keselamatan sumber bekalan air mentah serta bekerjasama dengan Jabatan Meteorologi Malaysia, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan kerajaan negeri bagi operasi pembenihan awan, bertujuan untuk meningkatkan paras air di empangan dan pengairan pertanian.
SPAN akan turut menyelaras bantuan antara operator air negeri semasa menghadapi krisis bekalan air akibat bencana alam atau faktor luar jangka, dalam memberi bantuan teknikal dan misi bantuan yang berkaitan ke negeri-negeri jiran, selaras dengan memorandum persefahaman ataupun MoU yang telah dimeterai bersama.
Antara tanggungjawab operator air dalam menghadapi krisis bekalan air adalah merangkumi penyediaan tenaga kerja, jentera, lori tangki, khidmat nasihat dan kepakaran teknikal. Dalam pada masa yang sama, pihak Rejimen 60 Askar Jurutera Diraja turut terlibat dalam membantu pihak operator air bagi negeri yang mengalami krisis bekalan air.
Kementerian melalui Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (JPS) juga sedang membangunkan Sistem Pengurusan Imbangan Air Negara atau singkatannya NAWABS di 19 lembangan sungai. Program ini memastikan fungsi sungai sebagai sumber air dikekalkan termasuklah tindakan mitigasi dan persediaan awal oleh pelbagai agensi lain berkaitan melalui pertamanya, makluman ramalan kemarau dua bulan lebih awal dan amaran kemarau 14 hari lebih awal.
Sehingga kini, tujuh lembangan telah siap dan mula beroperasi, manakala sembilan lembangan lain dijadualkan siap sepenuhnya pada Januari 2027. Yang kedua, pemakluman aras ataupun storan empangan bagi pemantauan kemarau. Ketiga, JPS turut memantau 25 empangan lain bagi memastikan storan adalah pada tahap siap siaga sebagai sumber air domestik dan pertanian.
Usaha untuk memanfaatkan air banjir ataupun lebihan air hujan, hanya boleh dilaksanakan dengan menggunakan kaedah penyelesaian secara struktur, seperti pembinaan empangan, struktur pembetungan air atau kolam takungan seperti hybrid off-river augmentation, dengan ringkasnya ataupun HORAS yang sedang dilaksanakan di Sungai Klang dan Sungai Melaka. Selain itu, kementerian akan terus memperluas pembinaan Takungan Air Pinggiran Sungai ataupun singkatannya TAPS yang merupakan satu sistem takungan yang dibina di tepian sungai untuk menerima lebihan air sungai khususnya ketika musim hujan.
Takungan air daripada TAPS akan dilepaskan ke aliran sungai atau terus ke LRA jika diperlukan ketika musim kering atau ketika berlakunya pencemaran di sungai bergantung kepada kapasiti dan sumber air yang ada. Pada masa yang sama, TAPS juga bertindak sebagai kawalan banjir ketika musim tengkujuh untuk menakung lebihan aliran air banjir.
Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Rantau Panjang.
Dato' Siti Zailah binti Mohd Yusoff - Rantau Panjang
Terima kasih Tuan Yang di- Pertua. Terima kasih Yang Berhormat Menteri. Kalau kita lihat dari sudut banjir ini, kawasan saya terutama Rantau Panjang yang sangat terkesan dan setiap tahun banjir ini melampaui sampai ke paras bumbung rumah. Tetapi apabila berlaku kemarau, maka air itu menghadapi masalah air yang sangat terkesan juga, sangat kritikal juga.
Jadi saya ingin tahu, apakah perancangan jangka panjang kerajaan, terutama untuk pembinaan empangan di kawasan saya dan termasuk di seluruh negeri Kelantan? Sebab
Dato' Siti Zailah binti Mohd Yusoff - Rantau Panjang
setakat ini setahu saya, tidak ada satu empangan pun lagi di pinggiran sungai yang dibina untuk memanfaatkan air banjir di Kelantan. Minta penjelasan.
Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof
Sebenarnya Kelantan mendapat banyak projek, termasuklah rancangan tebatan banjir dan juga isu utamanya sebenarnya di Kelantan ialah permintaan air lebih besar ataupun lebih banyak daripada kemampuan syarikat bekalan air untuk membekalkan air.
Secara puratanya kalau kita bandingkan pengeluaran dan permintaan, pengeluaran hanyalah pada tahap 514.7 juta liter sehari berbanding dengan permintaan 584.4 juta liter sehari. Kalau kita bandingkan, maknanya sekarang ini rizab margin begitu kurang sekali dan sebab itulah kalau kita melihat di — Manakala NRW ataupun kehilangan air di negeri Kelantan begitu besar, 54.5 peratus.
Sebab itu kalau kita melihat dalam konteks Kerajaan Persekutuan, apa yang kita buat ialah untuk membantu menyiapkan LRA di mana projek-projek yang akan dilaksanakan satu, di Chicha iaitu di Kubang Kerian. Dua, di Gua Musang, Bukit Chupak, di Tanjung Mas, Kota Bharu dan juga Tok Bali di Bachok. Ada yang dalam pembinaan, ada yang akan ditenderkan dan di Machang pun juga dijangkakan tender pada 2025 sebab masa ini sedang diperincikan dari segi design dan sebagainya.
Jadi projek itu memang ada dilaksanakan, cuma yang diperlukan sekarang ini ialah syarikat air dan kerajaan negeri kena bekerjasama untuk mencari jalan bagaimana pertama sekali, menyelesaikan masalah loji rawatan. Masalah di Kelantan ialah kurangnya loji rawatan.
Tuan Haji Onn bin Abu Bakar - Batu Pahat
[Berdiri]
Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof
Untuk di peringkat Persekutuan, memang kita membantu hanya dari segi sumber air itu sendiri, tapi loji kena disediakan oleh Kerajaan Kelantan melalui syarikat mereka. Sebab itu Yang Amat Berhormat Perdana Menteri sebenarnya dah umumkan peruntukan RM500 juta, tapi dalam bentuk pinjaman. Kerajaan negeri nak minta secara geran, tapi sebab itu bila penyelarasan tarif baru-baru ini, sebenarnya untuk membantu kerajaan negeri supaya dapat memfokuskan dalam membina loji.
Kalau sumber itu kita buat tapi loji tak ada, tak dapat juga membekalkan air bersih kepada rakyat. Jadi, itu perbincangan yang sepatutnya dilaksanakan, di antara kerajaan negeri dan kita memang sedang rancak dilaksanakan perbincangan di antara pegawai.
Diharapkan akan dapat persetujuan supaya kita boleh membantu, tapi kenalah melalui pinjaman, taklah dapat melalui geran yang diminta oleh kerajaan negeri. Geran yang kita buat sebenarnya ialah dari segi sumber bekalan air itu sendiri. Memang sudah ada banyak projek yang kita laksanakan melalui Kerajaan Persekutuan. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Batu Pahat.
Tuan Haji Onn bin Abu Bakar - Batu Pahat
Tadi Menteri ada memberitahu di Dewan ini, tentang peruntukan di Kelantan, tebatan banjir. Boleh Menteri kongsikan data atau rekod terkini peruntukan tebatan banjir yang diterima oleh negeri Kelantan?
Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof
Untuk tebatan banjir, keseluruhannya sebenarnya projek yang sedang berjalan, fasa 1 di Sungai Golok dengan nilai RM824 juta.
Yang ini pada tahap masa ini lebih kurang mengikut jadualnya 77 peratus. Manakala projek pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu Sungai Golok fasa 2 masih dalam peringkat tender dengan nilai RM879 juta. Untuk Projek Lembangan Sungai Bersepadu Sungai Golok fasa 3, RM472,430,000. Yang ini pun sudah pun melalui tender. SST dijangkakan dalam bulan ini ataupun bulan depan, menunggu kelulusan daripada MOF.
Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof
Ada lagi pembinaan pelan induk Rancangan Tebatan Banjir Lembangan Sungai Melor, Kelantan. Yang ini lebih kepada kajian. Ketiga ialah Projek Pembinaan Lembangan Sungai Bersepadu Sungai Kelantan dengan nilai RM669,986,700. Ini fasa pertama. Yang ini dalam pelaksanaan, lebih kurang 92 peratus sudah pun siap. Kos pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu Sungai Kelantan. Yang ni peringkat pra pelaksanaan. Dijangkakan SST
Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof
akan dikeluarkan dalam bulan ini. Yang ini dengan nilai RM1 bilion ─ bukan. Sorry, sorry. Bila besar-besar sangat saya tak biasa. Tak banyak duit.
[Ketawa] Jadi, bilion kah, million kah? Jadi, yang ini lebih kepada kajianlah. RM1,064,685 bilion. Jadi, ini yang projek-projek untuk tebatan banjir. Di samping, projek yang saya katakan loji rawatan air yang sedang kita laksanakan, ini juga adalah program-program daripada Kerajaan Persekutuan. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Saya jemput Tuan Zahir bin Hasan, Wangsa Maju.
Tuan Ts. Zahir bin Hasan - Wangsa Maju
Terima kasih Puan Yang di-Pertua.
3. Tuan Ts. Zahir bin Hasan [Wangsa Maju] minta Menteri Ekonomi menyatakan hala tuju dan pendekatan baharu yang sedang dirangka oleh kerajaan hasil daripada Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 yang telah diadakan pada 29 Februari hingga 2 Mac 2024 bagi melonjakkan lagi tahap sosioekonomi bumiputera menerusi pelbagai bidang dan sektor agar terus berdaya saing.
Menteri Ekonomi - Tuan Mohd Rafizi bin Ramli
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Yang di-Pertua, Ahli Dewan yang mulia.
Sejak Dasar Ekonomi Baru (DEB) pada tahun 1971, kerajaan telah melaksanakan pelbagai dasar, strategi dan inisiatif jangka masa pendek, sederhana dan panjang dalam memperkasakan agenda bumiputera. Namun, masih wujud jurang sosioekonomi antara etnik di Malaysia. Contohnya seperti berikut.
Peratusan insiden kemiskinan mutlak bumiputera adalah yang tertinggi di Malaysia iaitu 7.9 peratus berbanding Cina - 1.9 peratus dan India - 5.4 peratus pada tahun 2022.
Kemudian dari segi kadar peratusan pengangguran, bumiputera juga adalah sebanyak empat peratus berbanding Cina - 3.1 peratus dan India yang paling tinggi 4.8 peratus bagi tahun 2022. Jumlah penganggur bumiputera adalah yang paling tinggi iaitu seramai 387,800 orang ataupun 61.5 peratus daripada 630,400 orang penganggur berdasarkan Laporan Survei Tenaga Buruh 2022.
Dan yang selalu ditanya dan disebut. Pemilikan ekuiti korporat bumiputera mencatatkan pencapaian 18.4 peratus pada tahun 2020, berbanding bukan bumiputera sebanyak 29.5 peratus. Sasaran sekurang-kurangnya 30 peratus ekuiti korporat bumiputera masih belum dicapai.
Berdasarkan kedudukan semasa sosioekonomi bumiputera, Kerajaan MADANI bertekad untuk menstruktur semula ekonomi ke arah Malaysia sebagai peneraju ekonomi di rantau Asia dan memastikan rakyat dapat menikmati kehidupan yang lebih bermutu selaras dengan kerangka Ekonomi MADANI.
Dalam hal ini, sebenarnya kerajaan telah pun memasukkan dasar-dasar pengupayaan bumiputera di dalam kajian separuh penggal contohnya, sebanyak lima strategi, 12 inisiatif dan 35 tindakan yang berkaitan agenda bumiputera telah pun digariskan ke arah mencapai pencapaian yang saksama untuk bumiputera.
Susulan itu juga, kerajaan telah menganjurkan Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 pada 29 Februari hingga 2 Mac 2024 dalam menetapkan hala tuju dan pendekatan agenda pemerkasaan bumiputera yang lebih menyeluruh. Kesemua inti pati hasil daripada KEB 2024, input daripada sesi libat urus dan pandangan daripada rakyat biasa yang disampaikan melalui microsite akan dicerakin untuk diterjemahkan ke dalam hala tuju agenda baru pemerkasaan bumiputera.
Pelan jangka panjang, agenda baru pemerkasaan bumiputera yang lebih segar dan inklusif tanpa meminggirkan peranan oleh semua etnik di Malaysia akan dirangka untuk tempoh 10 tahun yang akan datang dan dijangka diluncurkan pada Jun 2024, termasuk usaha bagi melonjakkan lagi tahap sosioekonomi bumiputera menerusi pelbagai bidang dan sektor agar terus berdaya saing. Nak habis dah Speaker. Last sekali ini ya.
Kerajaan juga akan memberi fokus kepada usaha pemerkasaan dan pengupayaan golongan pertengahan bumiputera yang dipanggil middle-class ini yang mampu mencipta
Menteri Ekonomi - Tuan Mohd Rafizi bin Ramli
nilai kepada ekonomi, beralih daripada yang sekarang ini menambah nilai dengan makan gaji kepada mencipta nilai supaya lebih banyak penyertaan kelas menengah bumiputera dengan membina perniagaan dan meningkatkan pendapatan berbanding seperti yang saya sebut sebelum ini, hanya menambah nilai ataupun bergantung harap kepada pekerjaan bergaji semata-mata.
Usaha ini akan insya-Allah dapat mengukuhkan daya saing dalam pelbagai bidang dan sektor dan tumpuan adalah juga kepada penskalaan pembangunan bakat, meningkatkan pendapatan dan menoktahkan kemiskinan tegar. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Wangsa Maju.
Tuan Ts. Zahir bin Hasan - Wangsa Maju
Terima kasih Yang Berhormat Menteri yang telah menjelaskan dengan baik dengan jelas. Saya kira semua soalan telah jawab.
Walau bagaimanapun, dalam apa-apa dasar, rumusan ataupun pelan itu sendiri cabaran yang menyusul adalah keberkesanan pelaksanaan.
Soalan susulan saya, apakah mekanisme yang akan digunakan oleh kerajaan bagi memastikan penyaluran dana contohnya, peruntukan itu sampai kepada mereka yang benar- benar layak dan berhak untuk menerimanya. Terima kasih.
Tuan Mohd Rafizi bin Ramli
Terima kasih Wangsa Maju. Fungsi dan mekanisme sesuatu program, bantuan dan pengupayaan sosioekonomi itu sebenarnya bergantung pada suasana dan penekanan dari semasa ke semasa.
Contohnya dalam tahun 60-an, 70-an, fokusnya ialah membasmi kemiskinan dan memastikan tidak ada fungsi ekonomi yang dikenal pasti mengikut kaum. Oleh sebab itu, kerajaan menubuhkan banyak agensi-agensi, termasuklah contohnya FELDA dan yang lain- lain untuk memastikan bahawa bantuan dan program ini sampai kepada kumpulan sasaran.
Begitu jugalah evolusi dasar dan juga agensi-agensi dan bentuk program daripada satu zaman ke satu zaman. Tahun 80-an, 90-an contohnya lebih kepada untuk membantu usahawan-usahawan kecil. Maka, kita ada banyak agensi-agensi yang ditubuhkan.
Cabaran pemerkasaan ekonomi bumiputera untuk zaman ini dan 20 tahun ke atas seperti yang saya jelaskan tadi ialah bagaimana kita boleh menukar kelas menengah bumiputera yang sebenarnya bergaji tinggi, berpengalaman baik kerana mereka ini sebenarnya CEO, profesional yang berkelayakan tetapi tidak setara dari segi mencipta nilai, berbanding dengan golongan profesional bukan bumiputera kerana mereka berada di dalam profesion yang bergaji.
Fokus ini bermakna untuk kita menggalakkan lebih ramai profesional dan kelas menengah bumiputera mencipta nilai, maka kita juga perlu beralih dari segi mobilisasikan kapital yang bergantung pada agensi kerajaan semata-mata kepada mobilisasi kapital yang lebih banyak berkitar di kalangan golongan profesional menengah dan golongan atasan bumiputera.
Sebab itu, pandangan saya Wangsa Maju bahawa tumpuan kita perlu juga beralih ke arah mewujudkan dasar bukan semata-mata agensi ataupun pendanaan yang besar daripada kerajaan untuk memastikan sepertimana golongan bukan bumiputera ataupun golongan kelas menengah di negara-negara lain akan terus membiayai penciptaan nilai melalui perusahaan-perusahaan baharu sesama kelas menengah.
Datuk Ahmad Amzad bin Mohamed @ Hashim - Kuala Terengganu
[Bangun]
Tuan Mohd Rafizi bin Ramli
Perkara ini dilakukan melalui fungsi swasta. Jadi, sebab itu tumpuan sepatutnya lebih kepada membina ekosistem dari segi undang-undang, dari segi intensif percukaian, dari segi pembinaan bakat pelaburan di kalangan kelas menengah profesional, supaya dana yang ada ini dapat disalurkan sama ada dengan izin Yang di-Pertua, sama ada melalui private equity ataupun venture firms.
Inilah yang pada pandangan kami, itu akan membolehkan penskalaan perniagaan bumiputera yang digerakkan oleh kelas menengah ini akan meningkatkan lagi pemilikan ekuiti, penyertaan dan penguasaan bumiputera di dalam ekonomi. Terima kasih Yang di- Pertua.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Kuala Terengganu.
Datuk Ahmad Amzad bin Mohamed @ Hashim - Kuala Terengganu
Kuala Terengganu. Ya, terima kasih Yang di-Pertua.
Saya ucap tahniah tentang Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 ini yang berakhir 2 Mac. Pada 5 Mac, PETRONAS meng-award pemasangan penghawa sistem solar kepada syarikat daripada 300 lesen tidak ada satu pun dapat kepada syarikat bumiputera. Saya harap perkara ni – selain daripada pendanaan termasuk juga wang diberi untuk peluang. Saya ingin bertanya berhubung dengan pengumuman RM1 bilion dana bagi melahirkan generasi baharu usahawan bumiputera dalam bidang pertumbuhan tinggi oleh GLIC, adakah peruntukan ini sebagai tambahan kepada pengumuman dalam Belanjawan 2024 sebelum ini? Terima kasih.
Tuan Mohd Rafizi bin Ramli
Pengumuman yang dibuat oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri itu merujuk kepada pengumuman baru dan dana ini akan digerakkan melalui GLC, GLIC dan juga mobilisasi kapital swasta yang lebih baik.
Soalan Kuala Terengganu mengenai penyertaan, itulah yang sekarang ini sedang dirangka kerana negara melalui kerangka ekonomi madani mengenal pasti enjin-enjin pertumbuhan baru, termasuklah peralihan tenaga, termasuklah digital and tax, pertanian moden, advance E&E contohnya. Ini adalah sektor-sektor yang boleh melonjakkan penyertaan ekonomi usahawan negara ke dalam rantaian nilai antarabangsa. Ia mempunyai kandungan nilai yang tinggi dan juga kepakaran yang lebih tinggi berbanding dengan yang biasa.
Sudah tentu apabila kerajaan menetapkan fungsi-fungsi ekonomi yang ini, kita akan bermula dengan jurang terutamanya dari segi penyertaan usahawan dan profesional bumiputera. Program-program yang khusus, terutamanya yang melibatkan penyertaan membiasakan usahawan bumiputera dengan potensi-potensi yang ada dan untuk menggalakkan usahawan bumiputera mengambil risiko menyertai sektor-sektor ekonomi yang begini, itu akan diperhalusi dan akan sudah tentu menjadi tumpuan seperti sebahagian daripada dapatan-dapatan yang telah dibincangkan di KEB 2024. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Yang Berhormat, sekarang tamatlah sesi untuk Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri pada hari ini. Terima kasih, Yang Berhormat. Setiausaha.
[Sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri tamat]
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Saya jemput Dato' Mohd Isam bin Mohd Isa,Tampin.
Dato' Mohd Isam bin Mohd Isa - Tampin
Terima kasih, Timbalan Yang di-Pertua.
Dari Tampin ke Lubok Antu, Soalan Tampin nombor satu.
1. Dato' Mohd Isam bin Mohd Isa [Tampin] minta Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup menyatakan:
(a) statistik penglibatan orang ramai di platform aduan yang telah disediakan berhubung isu bekalan dan harga barangan asas; dan
(b) sejauh manakah persediaan yang dilakukan supaya tidak timbul isu tersebut menjelang hari perayaan utama seperti Aidilfitri, Deepavali dan Tahun Baru Cina.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup - Puan Hajah Fuziah binti Salleh
Bismillahi Rahmani Rahim, Assalamualaikum warahmatullahi
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup - Puan Hajah Fuziah binti Salleh
wabarakatuh. Selamat pagi dan salam Malaysia Madani. Terima kasih, Puan Yang di-Pertua, Terima kasih kepada Yang Berhormat Tampin yang bertanya soalan yang ingin tahu berkenaan dengan penglibatan pengguna di platform aduan.
Puan Yang di-Pertua, selaku kementerian yang bertanggungjawab untuk menjaga kepentingan pengguna, maka pihak kementerian menyediakan ruang dan peluang untuk rakyat menyuarakan apa-apa aduan sama ada berkaitan ketiadaan bekalan barangan mahupun isu berkaitan kenaikan harga barang terutama harga barangan asas atau sebarang masalah berkaitan penyelewengan peniaga dan apa-apa sahaja yang berkaitan dengan hak pengguna.
Justeru itu, kementerian menyediakan tujuh platform untuk memberi saluran aduan.
Antaranya termasuk boleh buat aduan melalui QR Code, boleh buat aduan melalui WhatsApp, boleh guna portal e-Aduan, call center, aplikasi dan sebagainya, aplikasi Ez Adu.
Jadi, ini adalah cara-cara pengguna boleh membuat aduan.
Tiga tahun kebelakangan ini, kita lihat berlaku kenaikan jumlah aduan pengguna yang ketara dan kemuncaknya adalah pada tahun 2023. Dengan jumlah aduan sebanyak 43,347 berbanding 29,265 pada tahun sebelumnya. Kerana sejak Kerajaan Perpaduan mengambil alih pentadbiran, kita melakukan pelbagai usaha dan advocacy supaya berlaku usaha meremajakan sistem aduan dan membuatkan cara aduan itu lebih customer-friendly dengan izin, Puan Yang di-Pertua.
Jadi, apabila berlaku begitu, maka kita lihat lebih kurang double, dua kali ganda lagi jumlah aduan kerana pengguna merasakan lebih mudah untuk menggunakan kaedah aduan saluran aduan yang kita siapkan iaitu antaranya ialah QR Code. Jadi, menjawab soalan Yang Berhormat Tampin tentang statistik harga dan bekalan.
Pada tahun 2023, kita lihat bahawa ada 8,410 berkaitan dengan harga. Tahun 2024 sehingga 29 Februari ada 1,624 berkaitan dengan harga.
Manakala berkaitan dengan bekalan, ada berkaitan barang kawalan dan ada berkaitan dengan iklan yang mengelirukan. Tahun 2023, iklan mengelirukan. Maksudnya, bekalan itu dia cakap lain, dia bagi lain dan bekalan ini barang-barang seperti gula, minyak dan sebagainya. Kita dapati 2023, barang kawalan 2,265, iklan mengelirukan 2,608. 2024, iklan mengelirukan 679, barang kawalan 410. Jadi, itu berkenaan dengan harga.
Berkenaan soalan yang kedua, bahagian yang kedua. Sikit lagi, Puan Yang di- Pertua. Berkenaan yang– soalan yang bahagian yang kedua. Kita melakukan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan untuk mengawal harga dan kita juga sentiasa libat urus dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan serta libat urus dengan industri untuk memastikan bekalan itu mencukupi. Terima kasih, Puan Yang di-Pertua.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Tampin.
Dato' Mohd Isam bin Mohd Isa - Tampin
Terima kasih Yang Berhormat Timbalan Menteri. Apabila bercakap soal platform aduan, ianya sama seperti tempat untuk rakyat meluahkan tekanan dan perasaan. Perkara mustahak yang rakyat di luar sana mahu saksikan adalah tindakan dan pembaharuan oleh KPDN.
Soalan saya, sejauh manakah kekuatan penguatkuasaan KPDN pada masa ini sama ada mencukupi atau sebaliknya? Apakah status semasa cadangan tahun lalu iaitu mengangkat bahagian penguatkuasaan KPDN kepada jabatan dan yang terakhir, bagaimanakah modus operandi KPDN untuk memantau bazar Ramadan di seluruh negara tahun ini? Setahun yang lalu, kita bercakap soal Menu Rahmah dan Harga Rahmah tetapi keadaan tersebut tidak berlaku di lokasi bazar Ramadan.
Saya ingin mengetahui pemantauan dan tindakan yang tegas daripada pihak KPDN, ini sebenarnya berlaku atau sebaliknya? Terima kasih, Timbalan Yang di-Pertua.
Puan Hajah Fuziah binti Salleh
Terima kasih Yang Berhormat Tampin. Terima kasih Puan Yang di-Pertua. Berkenaan dengan penguat kuasa, kita ada 2,300 jumlah anggota penguat kuasa dan mengangkat daripada bahagian kepada jabatan itu ada keputusan yang agak positif.
Puan Hajah Fuziah binti Salleh
Cuma, dia ada technicalities, Yang Berhormat Tampin. Apabila kita menjadi jabatan, dia ada implikasi-implikasi kerana pertanggungjawaban itu. Jadi, itu yang sedang dikaji dengan lebih dalam sebab kalau tidak, mereka penguat kuasa bertanggungjawab kepada bahagian, bertanggungjawab kepada pengarah negeri tetapi sekarang kalau di negeri-negeri, mereka ada jabatan mereka berdikari dan ada isu-isu dari sudut pertanggungjawaban di situ.
Jadi, sedang dikaji.
Berkenaan dengan bazar Ramadan, kita akan laksanakan Ops Pantau bermula 12 Mac 2024 di setiap bazar Ramadan supaya memastikan bahawa tidak ada peniaga yang mengambil kesempatan menaikkan harga yang tidak munasabah.
Puan Hajah Fuziah binti Salleh
Juga di 60 lokasi Bazar Ramadan Rahmah di seluruh negara, kita menyasarkan sekurang-kurangnya 40 peratus peniaga menawarkan Menu Rahmah, insya-Allah. Dalam Bazar Ramadan Rahmah, 40 peratus peniaga disasarkan untuk menawarkan Menu Rahmah.
Di Bazar Ramadan Rahmah juga, kita akan memberikan insentif kepada peniaga yang menawarkan Menu Rahmah sebanyak RM50.
Juga, kita akan beri insentif kepada pengunjung e-wallet RM20 dan di setiap lokasi ada RM2,000 e-wallet akan dikeluarkan untuk membantu pengunjung-pengunjung di Bazar Ramadan Rahmah untuk membeli dengan harga yang murah. Ada Menu Rahmah, ada e- wallet lagi Puan Yang di-Pertua. Terima kasih Yang Berhormat Tampin.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Saya jemput Tuan Rushdan bin Rusmi, Padang Besar.
Tuan Rushdan bin Rusmi - Padang Besar
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Terima kasih Puan Yang di-Pertua.
Harum manis corak batik Perlis, Dipakai oleh muda dan tua, Soalan saya seperti tertulis, Soalan saya nombor dua.
2. Tuan Rushdan bin Rusmi [Padang Besar] minta Menteri Pengangkutan menyatakan adakah kementerian bercadang untuk menambah gerabak penumpang ETS oleh kerana permintaan pengguna ETS semakin meningkat terutamanya penumpang yang ingin ke Perlis bersempena Tahun Melawat Perlis 2024-2025.
Menteri Pengangkutan - Tuan Loke Siew Fook
Terima kasih. Salam sejahtera.
Salam Malaysia Madani. Puan Yang di-Pertua, Ahli-ahli Yang Berhormat. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, perkhidmatan ETS masa ini menyediakan sebanyak 32 perkhidmatan sehari termasuk 10 perkhidmatan ETS laluan dari dan ke Padang Besar. Terdapat dua stesen untuk perkhidmatan ETS di Perlis iaitu Padang Besar dan Arau.
Untuk memenuhi perkhidmatan yang baik daripada penumpang ETS, Kementerian Pengangkutan telah membuat perolehan 10 set tren elektrik enam koc baharu sebagai tambahan kepada 24 set tren elektrik yang kini digunakan untuk operasi perkhidmatan ETS.
Set tren elektrik baharu tersebut dijadualkan akan digunakan untuk operasi perkhidmatan ETS secara berperingkat mulai awal tahun 2025.
Jumlah penumpang tren ETS bagi tahun 2023 adalah sebanyak 4,115,242 orang setahun. Di Perlis, Stesen Padang Besar telah mencatatkan 347,894 penumpang. Manakala, Stesen Arau telah mencatatkan 231,896 orang penumpang. Jumlah perkhidmatan tren ETS bagi tahun 2023 adalah sebanyak 32 trip sehari. Dengan penambahan 10 set ETS yang baharu, adalah dijangkakan sehingga 64 trip sehari boleh dilaksanakan. Jumlah penumpang juga dijangka meningkat kepada 7,547,565 orang setahun apabila semua set tren elektrik beroperasi.
Selain perkhidmatan berkala ETS, KTMB juga menyokong inisiatif pelancongan dengan menawarkan perkhidmatan tren yang disewa khas berdasarkan permintaan.
Kementerian Pengangkutan sentiasa bersedia bekerjasama dengan pihak Kerajaan Negeri
Menteri Pengangkutan - Tuan Loke Siew Fook
Perlis dalam memantapkan jaringan pengangkutan awam untuk menyokong ekonomi pelancongan. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Padang Besar.
Tuan Rushdan bin Rusmi - Padang Besar
Terima kasih atas jawapan Yang Berhormat Menteri yang agak sempurna. Soalan saya, adakah kerajaan bercadang untuk menaik taraf Terminal Padang Besar itu memandangkan kalau dilihat Terminal Padang Besar ini agak tercorot dan juga nampak suram terutama pada sebelah malam.
Saya sendiri melihat pada waktu malam itu agak menakutkan penumpang sebab suasana yang gelap. Kemudiannya, terima kasih juga kepada pihak kementerian atas penaiktarafan laluan pejalan kaki baru ini daripada KTM ke ICQS Padang Besar. Soalan saya seterusnya, adakah kerajaan bersedia mencadangkan untuk mewujudkan tambang mesra pelancong untuk Tahun Melawat Perlis 2024-2025. Terima kasih.
Tuan Loke Siew Fook
Yang pertamanya Yang Berhormat, memang kita ada program untuk menaik taraf dan menambah baik stesen-stesen KTM ini dari semasa ke semasa. Tetapi secara spesifiknya, memang belum ada perancangan tetapi saya akan melihat kepada permintaan Yang Berhormat itu sama ada ada keperluan untuk Stesen Padang Besar.
Tuan Rushdan bin Rusmi - Padang Besar
Terima kasih.
Tuan Loke Siew Fook
Tetapi seperti apa yang dikatakan oleh Yang Berhormat, baru-baru ini kita telah membuka semula laluan pejalan kaki di antara stesen KTM dengan CIQ. Itu amat memudahkan kepada orang ramai atas permintaan– juga kerjasama dengan pihak Kementerian Dalam Negeri.
Tuan Lee Chuan How - Ipoh Timor
[Bangun]
Tuan Loke Siew Fook
Pihak Kementerian Dalam Negeri pula pun telah menyatakan kepada saya supaya mempercepatkan proses itu.
Tuan Tan Kar Hing - Gopeng
[Bangun]
Tuan Loke Siew Fook
Memang kita telah buka pejalan kaki itu. Berkenaan dengan tambang mesra, itu— kita memang di peringkat KTM, dia ada semasa ke semasa ada buat program-program promosi. Tetapi spesifik untuk ETS ini, tak ada tiket yang lebih murah sebab ETS ini yang pertamanya kadarnya bukannya mahal pun. Yang keduanya, memang permintaan yang sangat tinggi. Tetapi untuk perkhidmatan-perkhidmatan kereta api yang lain memang kita ada program-program yang memberikan kelebihan ataupun diskaun kepada warga emas dan sebagainya. Terima kasih.
Tuan Rushdan bin Rusmi - Padang Besar
Terima kasih juga Menteri.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Ipoh Timor.
Tuan Lee Chuan How - Ipoh Timor
Terima kasih Timbalan Speaker. Terutamanya sebagai rakyat Perak dan juga wakil rakyat kepada Ipoh Timor, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak KTMB dan juga Yang Berhormat Menteri sendiri yang turun sebelum Hari Raya Cina untuk menyambut kedatangan anak-anak Perak kembali ke Ipoh melalui ETS khas tambahan KL. Syabas dan tahniah.
Soalan saya, apakah KTMB telah bersiap sedia dan bersiap siaga untuk menawarkan perkhidmatan dan tren tambahan yang sama untuk rakyat Aidilfitri yang sat gi— tengah menjelang ini. Ini kerana kita sedia maklum bahawasanya bilangan orang yang nak balik kampung ke Ipoh ini cukup ramai. Mohon dipertimbangkan dan pendirian kementerian sendiri, adakah ia akan dibuat untuk Hari Raya Aidilfitri?
Juga, adakah apa-apa insentif akan dibekalkan untuk anak-anak muda supaya waktu balik kampung itu jangan naik motosikal, boleh naik ETS, boleh naik tren. Adakah apa-apa insentif sedang dipertimbangkan dan juga akan dibekalkan untuk raya akan datang ini?
Sekian, terima kasih.
Tuan Loke Siew Fook
Terima kasih Yang Berhormat Ipoh Timor. Memang Kementerian Pengangkutan sentiasa menambah trip semasa musim perayaan. Ini tak kira apa musim perayaan. Baik Tahun Baru Cina, baik Hari Raya Aidilfitri, musim cuti ataupun
Tuan Loke Siew Fook
Hari Krismas dan sebagainya. Memang sentiasa pihak KTM akan menambah trip ETS khususnya– bukan sahaja sampai ke Ipoh tetapi sampailah Butterworth, sampailah ke Padang Besar. Supaya lebih ramai orang dapat menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam, khususnya kereta api untuk balik kampung beraya.
Hari Raya Aidilfitri juga sama, akan dilancarkan tak lama lagi. Biasanya, kita biarkan dulu tiket-tiket biasa dapat dijual menjelang– mungkin beberapa minggu sebelum raya. Ini belum masuk bulan Ramadan lagi. Kita akan lancarkan untuk Hari Raya Aidilfitri nanti.
Memang akan diperkenalkan tren-tren tambahan untuk cuti Hari Raya Aidilfitri. Cuma untuk insentif-insentif ini memang kita tak banyak.
Yang pertamanya, ada kekangan. Walaupun kita tambah trip tetapi memang tak ramai yang boleh dapat menggunakan perkhidmatan ETS. Mungkin 20,000-30,000 orang.
Tetapi nak balik ke kampung masing-masing itu berjuta. Jadi, memang sukar untuk menyatakan bahawa perkhidmatan tren ini dapat menampung permintaan semua pihak.
Cuma memang kita mengharapkan supaya rakyat terutamanya anak-anak muda lebih banyak menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam termasuklah bas-bas ekspres dan sebagainya. Bukan sahaja kereta api tetapi juga bas. Kita juga akan tambah bilangan bas ekspres sementara untuk musim perayaan supaya mengurangkan kebergantungan kepada penggunaan motosikal untuk balik ke jarak yang jauh. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Saya jemput Dato’ Sri Dr. Wee Jeck Seng, Tanjong Piai.
Dato’ Sri Dr. Wee Jeck Seng - Tanjong Piai
Terima kasih Puan Yang di-Pertua, soalan saya nombor tiga.
3. Dato' Sri Dr. Wee Jeck Seng [Tanjong Piai] minta Menteri Komunikasi menyatakan kesediaan kementerian untuk menangani segera masalah capaian internet yang masih lemah di kawasan Kukup dan Ayer Masin memandangkan selain kewujudan pintu masuk antarabangsa, terdapat juga kolej vokasional dan sekolah di kawasan berkenaan yang memerlukan kadar capaian Internet yang memberangsangkan bagi tujuan pendidikan.
Timbalan Menteri Komunikasi - Puan Teo Nie Ching
Terima kasih Puan Yang di- Pertua, terima kasih Ahli Yang Berhormat. Puan Yang di-Pertua, liputan Internet dan komunikasi di kawasan berpenduduk di Parlimen Tanjong Piai sehingga 31 Januari 2024 telah mencapai 98.9 peratus.
Bagi meningkatkan kadar liputan Internet di baki kawasan berpenduduk yang belum mendapat liputan termasuk di Tanjong Piai, kerajaan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) telah melancarkan inisiatif Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA). Di bawah pelan JENDELA, inisiatif yang dilaksanakan meliputi pembinaan menara baharu, menaik taraf pemancar sedia ada dan penyediaan sambungan gentian optik kepada premis.
Sehingga 31 Januari 2024, bagi Parlimen Tanjong Piai, sebanyak lapan daripada 13 menara baharu telah siap dibina dan beroperasi. Selain itu, 86 daripada 87 stesen pemancar sedia ada telah siap dinaik taraf dan sebanyak 8,822 daripada 12,693 premis telah dilengkapi dengan akses kepada perkhidmatan jalur lebar gentian optik berkeupayaan gigabait.
Timbalan Menteri Komunikasi - Puan Teo Nie Ching
Bagi kesemua inisiatif yang dirancang, dijangka siap secara berperingkat pada penghujung tahun 2025. Kementerian Komunikasi turut melaksanakan penyediaan infrastruktur jalur lebar menggunakan kaedah point of presence (PoP) dengan izin. Had gentian optik yang merupakan salah satu alternatif dalam memastikan liputan jalur lebar dapat diperluaskan ke kawasan sekitar sekolah dan berpenduduk di kawasan luar bandar dan pedalaman di seluruh negara Sehingga 5 Mac 2024, bagi Parlimen Tanjong Piai, tiga daripada lima PoP telah disiapkan bagi fasa 1, menjadikan 990 premis telah tersedia dengan sambungan gentian optik untuk dilanggan oleh komuniti setempat. Manakala, 34 PoP bagi fasa 2 akan juga dibina di
Timbalan Menteri Komunikasi - Puan Teo Nie Ching
Parlimen Tanjong Piai dan dijadualkan siap sepenuhnya menjelang tahun 2025. Bagi capaian internet di dalam kawasan sekolah, ianya terletak di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia.
Berkenaan dengan kawasan yang diutarakan oleh Yang Berhormat, pihak MCMC memerlukan maklumat yang lebih terperinci berkenaan dengan isu yang dihadapi. MCMC juga sedia turun padang bersama-sama dengan pihak Ahli Yang Berhormat bagi mendapatkan maklumat lanjut dan menjalankan tindakan yang sewajarnya.
Maklum balas daripada penduduk setempat yang mengalami isu perkhidmatan Internet juga amat dialu-alukan bagi membolehkan tindakan selanjutnya boleh diambil.
Sebarang aduan bolehlah disalurkan terus kepada pemberi perkhidmatan ataupun portal aduan MCMC menerusi pantau laman sesawang di https://aduan.mcmc.gov.my. Sekian jawapan saya. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Tanjong Piai.
Dato’ Sri Dr. Wee Jeck Seng - Tanjong Piai
Terima kasih Puan Yang di-Pertua, terima kasih Yang Berhormat Menteri. Jawapan tadi saya nampak seolah-olah selesai sudah masalah saya di Parlimen Tanjong Piai. Tetapi ini kenyataannya, perkara ini saya telah bangkit banyak kali di Parlimen dan jawapannya nampak seolah-olah selesai. Tetapi ini perkara nyata di kawasan Kukup dan Ayer Masin termasuk sekolah, kolej komuniti. Ada kolej vokasional di kawasan itu pun.
Jadi, nampaknya selesai tetapi memang saya terima banyak aduan termasuk pelancong juga mengatakan lemahnya Internet ini. Jadi, tadi jawapan itu mengatakan seolah- olah selesai. Saya nak tahu, ini perkara yang tak selesai. Cuma, saya nak tahu kementerian bagaimana boleh bantu untuk mengatasi? Kenyataan tak selesai, jawapan selesai. Jadi, harap ambil tindakan sesuai membantu saya selesaikan sebab kawasan Ayer Masin, Kukup Laut itu merupakan kawasan pelancongan yang memang mengalami aduan setiap masa dan juga sekolah termasuk kolej vokasional. Apakah tindakan ataupun cara yang boleh bantu saya di Parlimen Tanjong Piai? Sekian, terima kasih.
Puan Teo Nie Chin
Terima kasih Puan Speaker, terima kasih Ahli Yang Berhormat atas soalan tambahan tersebut. Sebab itu saya nak menyatakan di sini bahawa dalam jawapan saya tadi pun sebut, maklum balas daripada penduduk-penduduk setempat dan juga Ahli-ahli Yang Berhormat adalah sangat diperlukan untuk kita terus memantau perkhidmatan Internet di sesuatu tempat.
Saya ingin kongsi dengan Ahli Yang Berhormat, memang untuk tahun 2022, MCMC terima aduan daripada portal aduan mereka. Untuk kawasan Kukup, kami terima 18 aduan tentang liputan perkhidmatan mudah alih dan dua aduan tentang jalur lebar tetap. Isu itu sudah selesai dan juga untuk Ayer Masin, langsung tak ada sebarang aduan yang diterima sepanjang tahun 2022.
Bagi tahun 2023, satu aduan terima untuk kawasan Kukup tentang liputan perkhidmatan mudah alih dan juga satu aduan diterima tentang perkhidmatan jalur lebar tetap.
Dalam rekod sini MCMC, isu itu pun sudah selesai. Ayer Masin sekali lagi tiada apa-apa aduan yang diterima oleh MCMC. Kami pun, MCMC pun dua kali buka kaunter aduan di Parlimen pada tahun yang lalu. Bulan Mac dan juga bulan Oktober.
Bulan Mac memang Ahli Yang Berhormat Tanjong Piai telah pergi ke sana dan bagi beberapa isu. Saya percaya Ahli Yang Berhormat juga telah menerima maklum balas daripada MCMC. Sebab itu saya rasa saya tak nafikan bahawa masih ada aduan on the ground tetapi sama ada maklumat itu sampai di MCMC, saya rasa itu pun saya perlu kerjasama daripada Ahli Yang Berhormat.
Sebab itu saya sebut tadi dalam jawapan saya, MCMC Johor sedia untuk turun padang untuk bersama Ahli Yang Berhormat pergi ke Kukup, pergi ke Ayer Masin untuk kita meneliti apa isu di sana tetapi saya juga perlu tegaskan di sini dan ulang di sini sekali lagi.
Kalau isu liputan itu adalah di dalam sekolah ataupun dalam kolej komuniti, itu adalah di bawah bidang kuasa KPT ataupun KPM kerana itu adalah dalam kawasan sekolah. Tetapi tak ada masalah, Ahli Yang Berhormat bolehlah kami bincang nanti. Bila Ahli Yang Berhormat sesuai, saya akan minta MCMC pergi buatlah lawatan tapak bersama dengan Ahli Yang Berhormat. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Setiu.
Tuan Shaharizukirnain bin Abd Kadir - Setiu
Setiu. Soalan saya, apakah solusi ataupun pendekatan yang diambil oleh kerajaan untuk menyelesaikan isu liputan ataupun capaian internet di kawasan pedalaman dan terpencil yang tidak tersenarai dalam program JENDELA Fasa 1 dan Fasa 2? Untuk di Setiu, ada satu tempat di kawasan Kampung Langkap Baru. Saya cadangkan supaya dibina sebuah menara baru. Sekian, terima kasih.
Puan Teo Nie Ching
Terima kasih Ahli Yang Berhormat atas soalan tersebut. Untuk makluman Yang Berhormat, untuk JENDELA fasa 1 memang lokasi semua telah ditentukan apabila kita lancarkan JENDELA pada tahun 2022 tetapi untuk senarai fasa 2, kami belum finalize lagi. Jadi, saya akan kemukakan permintaan daripada Ahli Yang Berhormat kepada MCMC, tengok sama ada sudah dimasukkan dalam rancangan atau tidak. Kalau masuk, masih tak masuk dalam rancangan, saya akan minta MCMC untuk carilah satu penyelesaian untuk kawasan tersebut. Terima kasih Ahli Yang Berhormat.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Saya jemput Dr. Haji Abd Ghani bin Ahmad, Jerlun.
Dr. Haji Abd Ghani bin Ahmad - Jerlun
*Bacaan tahlil doa selamat.
Moga Majlis mendapat berkat, Jawapan Menteri biarlah tepat, Soalan saya nombor empat.*
4. Dr. Haji Abd Ghani bin Ahmad [Jerlun] minta Perdana Menteri menyatakan status penggubalan Akta Pendanaan Politik selepas ia dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi Dewan Rakyat dan nyatakan sasaran untuk ia dibentangkan di Dewan Rakyat.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) - Tuan M. Kulasegaran a/l Murugeson
Tuan Yang di-Pertua, untuk makluman Ahli Yang Berhormat, pada ketika ini draf Rang Undang-undang (RUU) Pendanaan Politik masih di peringkat penelitian dan kajian yang sedang dikendalikan oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi, Dewan Rakyat iaitu JPKP, antara lain untuk mengambil kira pandangan daripada sumber parti-parti politik yang berdaftar di Malaysia.
Susulan rujukan perkara dasar mengenai draf Rang Undang-undang Pendanaan Politik oleh Kerajaan Madani kepada JPKP, satu mesyuarat telah diadakan pada 29 Februari 2024. Menerusi Mesyuarat berkenaan, terdapat keperluan untuk penyelarasan menyeluruh dilihat dalam perkara-perkara yang telah dibangkit di dalam Mesyuarat tersebut yang meliputi:
(i) had skop bayaran sumbangan individu mahupun syarikat; dan
(ii) ketetapan tentang pendanaan awam untuk parti-parti politik.
Pendanaan awam (public funding) merupakan satu sistem di mana sejumlah wang diperuntukkan oleh kerajaan untuk diagihkan kepada parti-parti politik mengikut formula yang ditetapkan.
Selain itu, terdapat perbandingan pelbagai cadangan draf RUU yang dibincangkan semasa Mesyuarat JPKP tersebut dan tindakan penyelarasan difikirkan perlu bagi meneliti penghasilan satu rang undang-undang yang memenuhi kriteria public funding seperti mana diamalkan oleh negara demokrasi matang ataupun matured democracies seperti di Denmark, Jerman, Jepun, Korea dan Kanada. Bagi tujuan tersebut, penelitian secara terperinci akan dibuat sebelum laporan JPKP dimuktamadkan dan cadangan syor penambahbaikan dikemukakan kepada kerajaan.
Tindakan berterusan berkaitan pendanaan politik dilihat tepat pada masanya dan adalah selaras dengan komitmen reformasi institusi Kerajaan Madani di bawah pimpinan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri. Sebarang inisiatif ke aras penggubalan Rang Undang-undang Pendanaan Politik harus dilaksanakan dengan sebaik mungkin agar ia mencapai objektif sebenar iaitu ketelusan dalam pendanaan parti-parti politik yang secara
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) - Tuan M. Kulasegaran a/l Murugeson
tidak langsung dapat menetapkan integriti dan tata kelola yang baik demi kesejahteraan rakyat Madani.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) - Tuan M. Kulasegaran a/l Murugeson
Puan Yang di-Pertua, antara – adalah perlu ditekankan bahawa sementara penelitian dijalankan oleh JPKP, apa-apa pendanaan politik buat masa ini masih tertakluk antara lain kepada Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Akta 694 dan Akta Pencegahan Penggubalan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Wang Haram 2001. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Jerlun.
Dr. Abd Ghani bin Ahmad - Jerlun
Selain penyertaan parti-parti politik yang disebut tadi adakah kerajaan bercadang untuk melibatkan NGO ataupun organisasi masyarakat sivil yang pakar dalam perundangan dalam mengenal pasti kelompangan perundangan berkaitan dengan Akta Pendanaan ini supaya ada penambahbaikan?
Selain itu, bagaimanakah kerajaan mahu mengawal pengaruh politik wang dalam parti-parti politik yang ada sekarang dan andai kata berlaku pilihan raya kecil dalam tempoh yang terdekat ini, bagaimana kerajaan mahu membendung terimaan wang ataupun dana ataupun sumbangan dari mana-mana pihak? Sekian.
Tuan M. Kulasegaran a/l Murugeson
Terima kasih kepada soalan tersebut. Libat urus itu adalah terpulang kepada JPKP dan pandangan Yang Berhormat mesti diambil kira dan saya berpendapat itu adalah berpatutan, memanggil pakar-pakar perundangan dan juga NGO-NGO terlibat dalam perkara ini dan saya difahamkan juga ada terlibat dengan negara- negara lain dalam usaha yang sedemikian. Jika ada pilihan raya kecil seperti yang saya kata sebelum ini, akta-akta yang sedia ada mengawal selia perkara tersebut. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Ledang.
Tuan Syed Ibrahim bin Syed Noh - Ledang
Terima kasih kepada Yang Berhormat Timbalan Menteri, saya cuma nak bantu jawab sedikit sebab penglibatan dari segi NGO dan juga daripada Ahli Parlimen sebenarnya ada. Saya sendiri di bawah Kumpulan Rentas Parti Ahli-ahli Parlimen, dalam institusi governance dan anti rasuah, kita juga terlibat dalam membincangkan tentang Akta Pendanaan Politik. Begitu juga dengan kumpulan rentas parti yang berkenan dengan pendanaan.
Ada satu lagi kumpulan rentas parti dan dalam Jawatankuasa Pilihan Khas ini juga ada daripada kalangan pembangkang yang turut serta dalam Jawatankuasa Pilihan khas ini iaitu Besut, Arau dan lain-lain. Jadi, maknanya libat urus ini berjalan dan saya galakan supaya ramai daripada kalangan kita semua terlibat sama memberikan pandangan dan pastikan supaya akta ini berjalan dengan betul dan tepat. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Ada soalan? Tak ada soalan.
Tuan Syed Ibrahim bin Syed Noh - Ledang
[Ketawa] Pandangan.
Tuan M. Kulasegaran a/l Murugeson
Pandangan sahaja, pandangan itu boleh diterima. Saya percaya bahawa ahli-ahli politik dari pembangkang boleh memainkan peranan yang besar dalam hal ini. Terima kasih.
[Soalan No. 5 – YB. Tuan Hassan bin Abdul Karim (Pasir Gudang) tidak hadir]
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Saya dimaklumkan bahawa Pasir Gudang tiada dalam Dewan. Jadi saya jemput Dato' Khlir bin Mohd Nor, Ketereh.
6. Dato' Khlir bin Mohd Nor [Ketereh] minta Menteri Pertahanan menyatakan status kerja-kerja penambahbaikan dan penyelenggaraan Rumah Keluarga Angkatan Tentera
(RKAT) termasuk penyelenggaraan infrastruktur di kawasan RKAT demi menjamin kebajikan dan kesejahteraan mereka.
Timbalan Menteri Pertahanan - Tuan Haji Adly bin Zahari
Bismillahi Rahmani Rahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Puan Yang di- Pertua, terima kasih Yang Berhormat Ketereh di atas soalan yang dikemukakan.
Puan Yang di-Pertua, kerajaan sentiasa berusaha untuk memastikan kebajikan anggota tentera sentiasa terjaga bagi memastikan mereka terus bersemangat untuk menyumbang khidmat bakti dengan sebaiknya kepada negara. Berhubung dengan perkara ini, Kementerian Pertahanan sentiasa melaksanakan selenggaraan Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) sedia ada di seluruh negara melalui peruntukan tahunan yang diterima. Dua agensi pelaksanaan, pelaksana yang dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan selenggaraan tersebut ialah Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Bahagian Perkhidmatan Kejuruteraan Pertahanan (BPKP), Markas Angkatan Tentera Malaysia.
Bagi tahun 2024, Kementerian Pertahanan telah diperuntukkan sebanyak RM400 juta bagi kerja-kerja selenggaraan RKAT. Pada tahun ini juga skop kerja bagi peruntukan belanja mengurus (OE) ke belanja pembangunan (DE) telah diperluaskan kepada bukan sahaja kepada RKAT tetapi termasuk juga blok penginapan anggota bujang, Wisma Transit dan juga kemudahan taman permainan dan riadah.
Kementerian Pertahanan telah merancang kerja-kerja penyelenggaraan melibatkan 16,700 unit RKAT di seluruh Malaysia yang dijangka akan disiapkan dalam tahun semasa.
Itu sahaja jawapan.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Ketereh.
Dato' Khlir bin Mohd Nor - Ketereh
Soalan tambahan saya berkenaan dengan Projek SASaR. Saya difahamkan ada Projek SASaR di Sungai Besi dan juga Kem Wardieburn. Saya nak minta pencerahan sedikit daripada Timbalan Menteri.
Tuan Haji Adly bin Zahari
Terima kasih Yang Berhormat Ketereh. Walaupun persoalan pertama ini tentang RKAT tetapi tadi disebutkan juga tentang SASaR. Memang kita hampir menyiapkan projek kita di Sungai Besi dan dalam masa yang sama kita tahu bahawa kita baru sahaja merasmikan pelancaran pembangunan SASaR di Kem Wardieburn.
Saya fikir melalui apa yang telah kita rancang dan sedang kita laksanakan, saya yakin bahawa Kementerian Pertahanan akan dapat juga mencapai sasaran-sasaran kita bagi melaksanakan projek SASaR ini. Itu sahaja.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Bukit Bintang.
Tuan Fong Kui Lun - Bukit Bintang
Terima kasih Puan Yang di-Pertua, soalan tambahan. Saya ingin bertanya Yang Berhormat Timbalan Menteri, berapakah jumlah anggota ATM yang terpaksa duduk di luar memandangkan ketidakcukupan kuarters kosong untuk mereka dan bagaimanalah rancangan kerajaan untuk menempatkan mereka semula?
Terima kasih.
Tuan Haji Adly bin Zahari
Terima kasih kepada Yang Berhormat Bukit Bintang.
Untuk makluman Ahli Dewan, kita tahu bahawa kita mempunyai anggota pertahanan lebih daripada 100, sekitar 129,000 anggota. Kalau kita lihat bahawa pegangan RKAT kita seluruh negara ada sebanyak 57,913 tetapi kalau kita lihat keperluan RKAT ini, kita mengambil kira semua aspek kemudahan.
Kita menyediakan Rumah Keluarga Angkatan Tentera tetapi dalam masa yang sama kita tahu juga sebahagian anggota membeli aset-aset mereka di luar dan mereka memilih untuk duduk di luar. Sebab itu kalau kita lihat di Kementerian Pertahanan, kita ada Blueprint Perumahan 3.0 di mana berdasarkan kepada perancangan ini, kita melihat kepada keperluan sebab itu kalau kita melihat dalam tempoh antara 2023 hingga 2030, kita memerlukan 12,000 lagi RKAT. Sebab itu kalau kita lihat dari segi pembangunan kita, setakat ini kita telah siapkan 4,700, ada 3,400 dalam pembinaan, 633 dalam proses perolehan dan 1343.
Jadi kalau kita lihat menjelang 2030 kita ada 12,000 keperluan dan kalau kita melihat perancangan kita sedang merancang sehingga 2027. Jadi, saya fikir macam tadi persoalannya bukan sahaja kita melihat kepada berapa ramai anggota dan berapa ramai RKAT tetapi kita melihat kepada keperluan-keperluan itu. Itu sahaja jawapan saya.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Saya jemput Tuan Tan Kar Hing, Gopeng.
7. Tuan Tan Kar Hing [Gopeng] minta Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi menyatakan usaha-usaha kementerian untuk membantu mengurangkan kebergantungan kepada tenaga buruh dalam pengusahaan ladang seperti kelapa sawit melalui pengaplikasian teknologi.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi - Tuan Chang Lih Kang
Terima kasih Puan Timbalan Yang di-Pertua, terima kasih Yang Berhormat Gopeng. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, industri kelapa sawit adalah berintensif tenaga bunuh dengan penggunaan teknologi yang rendah dan bergantung kepada pekerja asing dalam pengusahaan dan penuaian. Penggunaan teknologi terkini seiring dengan perkembangan arus dunia adalah satu keperluan untuk memastikan kemapanan industri sawit.
MOSTI bersama dengan Kementerian Perladangan dan Komoditi sedang meneliti pembangunan teknologi yang mampu mempercepatkan proses penuaian menggunakan konsep seperti lengan robotik, teknologi haptik, kawalan yang lebih cekap, kuasa yang lebih baik, sistem tele operasi, pemetaan, komponen AI dan augmented reality (AR). Meningkatkan kecekapan dan daya saing terutama bagi penuaian kelapa sawit.
Sepertimana kerisauan yang diutarakan oleh Menteri Perladangan dan Komoditi semasa menjawab soalan Yang Berhormat Paya Besar pada 28 Februari, MOSTI telah sedia memahami isu kritikal dalam industri sawit termasuk isu ketiadaan teknologi bagi mengutip buah sawit. Perkara ini sedang dalam perhatian MOSTI, oleh itu MOSTI melalui agensinya MIMOS sedang melaksanakan beberapa projek pembangunan teknologi yang bertujuan membantu mengurangkan kebergantungan kepada tenaga buruh dalam pengusahaan ladang.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi - Tuan Chang Lih Kang
Antaranya, pembangunan modul analytics berasaskan teknologi penglihatan komputer dan kecerdasan buatan (artificial intelligence) yang mengkhususkan aplikasi dalam ladang. Antaranya:
(i) pengesanan pokok sedia tuai (harvest-ready tree detection); dan
(ii) pembangunan sistem prototaip untuk pemungutan buah tandan sawit segar.
Yang kedua, pembangunan teknologi navigasi untuk kenderaan darat tanpa pemandu, unmanned ground vehicle (UGV) dalam persekitaran luar jalan raya seperti ladang pertanian, tapak pembinaan dan kuari perlombongan. Teknologi ini berupaya mengautomasikan operasi antaranya mengembur dan membaja dan juga kawalan rumpai.
Seterusnya, dalam mentransformasikan industri dan masyarakat dari pengguna teknologi kepada pembangun teknologi, MOSTI melalui agensi di bawahnya MRANTI telah melaksanakan inisiatif National Technology and Innovation Sandbox (NTIS) yang menyediakan kemudahan pembiayaan dana kepada usahawan teknologi dalam mempercepatkan penerimaan produk ataupun perkhidmatan atau teknologi mereka ke pasaran melalui proses pengujian dalam persekitaran yang sebenar dan selamat.
Sehingga kini, NTIS telah menerima 16 permohonan dalam sektor perladangan termasuk kelapa sawit di mana lima daripada permohonan tersebut telah menerima pembiayaan dana NTIS dengan jumlah sebanyak RM7.1 juta. Sekian, terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Gopeng.
Tuan Tan Kar Hing - Gopeng
Terima kasih kepada Yang Berhormat Menteri atas jawapan yang bagi saya cukup komprehensif dan baik. Kita jelas bahawanya pengaplikasian teknologi mampu untuk mengubah kehidupan harian untuk rakyat dan juga pemain-pemain industri.
Oleh itu, sebagai – Saya ingin bertanya kepada pihak Menteri sebagai kementerian yang bertanggungjawab dalam melaksanakan penyelidikan dan pembangunan R&D. Saya ingin bertanya kepada pihak Menteri, apakah hasil kajian R&D yang telah pun dihasilkan setakat ini bagi RMKe-12? Apakah pecahan mengikut sektor yang dapat dimanfaatkan tentang pengaplikasian teknologi ini? Terima kasih.
Tuan Chang Lih Kang
Puan Timbalan Yang di-Pertua, untuk makluman Yang Berhormat, di bawah RMKe-12 MOSTI telah meluluskan 30 projek R&D yang bernilai RM111.34 juta. Tetapi kalau hendak ada — kalau hendak spesifikasi di bawah sektor-sektor, saya perlu bagi jawapan bertulislah. Ya, terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Okey, Temerloh.
Tuan Haji Bakri bin Jamaluddin - Tangga Batu
Tangga Batu.
Puan Hajah Salamiah binti Mohd Nor - Temerloh
Terima kasih pada Speaker.
Soalan saya, apakah dan bagaimanakah konsep menginsankan teknologi dapat meningkatkan tenaga buruh kerana kita memerlukan pekerjaan setakat ini? Kemudian, bagaimanakah kita melihat bahawa menginsankan teknologi ini dapat meningkatkan produktiviti pengeluaran? Terima kasih.
Tuan Chang Lih Kang
Terima kasih Yang Berhormat. Menginsankan teknologi ini adalah antara slogan MOSTI lah. Apa yang saya faham dari terma ini adalah kita membawa teknologi ke akar umbi sebab selalunya apabila kita sebut tentang teknologi ini, orang selalu ingat semua cutting-edge technology ataupun teknologi yang tinggi. Tetapi sebenarnya apa yang kita ada sekarang, teknologi cukup untuk kita memudahkan kehidupan seharian kita.
Seperti contoh, tadi kami sebut tentang ada beberapa teknologi yang membantu untuk mengurangkan tenaga buruh. Salah satu adalah dron. Sebenarnya teknologi dron telah matang, yang agak matanglah saya boleh katakan. So, kalau persepsi rakyat itu selalu ingat teknologi itu sangat bernilai tinggi, kosnya tinggi. Tetapi kalau kita kaji balik, kos untuk menggunakan aplikasi teknologi seperti teknologi dron itu, dia boleh meningkatkan produktiviti dan juga mengurangkan kebergantungan tenaga buruh.
Itu sebabnya kita perlu insankan teknologi bukan sahaja dari segi pengaplikasian teknologi tetapi juga persepsi rakyat terhadap penggunaan teknologi. Supaya rakyat faham dan sedar bahawa pengaplikasian teknologi itu tidak semestinya kos tinggi. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Saya jemput Tuan Zulkifli bin Ismail, Jasin.
8. Tuan Zulkifli bin Ismail [Jasin] minta Perdana Menteri menyatakan apakah usaha dan tindakan daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk membantu dan mengelakkan individu-individu Islam yang bekerja di premis-premis yang menjual arak terlibat dalam aktiviti penjualan arak dan yang berkaitan dengan arak.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) - Dr. Zulkifli bin Hasan
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan selamat pagi. Terima kasih Puan Yang di-Pertua. Terima kasih Yang Berhormat Jasin.
Firman Allah dalam Surah Al-Ma’idah, ayat 90 yang bermaksud, “*Wahai orang-orang yang beriman, bahawa sesungguhnya arah dan judi dan pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah adalah semuanya kotor dari perbuatan syaitan.
Oleh itu, hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.*” Tuan Yang di-Pertua, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah melaksanakan pendekatan-pendekatan yang bersesuaian dari segi aspek dakwah, pendidikan untuk memberikan kefahaman kepada umat Islam di negara ini sesuai berkenaan dengan pengharaman dan juga bahaya arak termasuk nasihat-nasihat untuk mengelakkan individu terlibat di premis menjual arak. Ini merangkumi:
(i) memperkasa fungsi masjid dan surau secara berterusan ke arah pembudayaan ilmu yang berkaitan ajaran agama Islam daripada masyarakat umum dan seluruh dan merubah sikap masyarakat dalam menghayati Islam secara komprehensif untuk mencapai kecemerlangan hidup di dunia dan akhirat,
(ii) memaksimumkan peranan guru-guru takmir untuk menyebarkan ilmu pengetahuan dan ajaran Islam kepada masyarakat dalam usaha untuk melahirkan anggota masyarakat yang bertakwa dan mengamalkan ajaran Islam yang sebenar; dan
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) - Dr. Zulkifli bin Hasan
(iii) menggunakan platform sedia ada untuk memberikan kesedaran dan menjelaskan isu-isu semasa berkaitan seperti menyediakan teks khutbah Jumaat yang mengupas isu arak secara konsisten.
JAKIM juga sentiasa memberi perhatian dan menyeru seluruh umat Islam agar dapat mempertingkatkan kefahaman dan penghayatan Islam secara menyeluruh melalui pegangan akidah, syariah dan akhlak di dalam Pelan Transformasi Hal Ehwal Agama Menuju Malaysia Madani. Al-Falah telah menggariskan lima teras utama yang terkandung di dalamnya juga kesejahteraan insan dan kemuliaan syariah.
Sehubungan itu, beberapa langkah telah diambil bagi membantu dan mengelakkan individu-individu Islam yang bekerja di premis-premis yang menjual arak. Sebagai contoh, pertama, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan telah memainkan peranan dalam memberikan pandangan hukum dari semasa ke semasa. Seperti contoh, perkara ini telah dijelaskan oleh Sahibus Samahah Mufti Wilayah Persekutuan dalam beberapa artikel seperti hukum bekerja di kedai serbaneka yang menjual arak dan juga hindari bahaya arak.
Seterusnya, JAKIM juga melakukan kempen kesedaran dari semasa ke semasa di media sosial JAKIM seperti memuat naik infografik mengenai 10 golongan yang terlibat dengan arak dan juga keberkatan rezeki. JAKIM bersama pihak berkuasa agama negeri seperti jabatan dan Majlis Agama Islam Negeri, Jabatan Mufti Negeri-negeri dan lain-lain akan terus menggandakan usaha dakwah bagi memastikan akidah syariah dan akhlak umat Islam sentiasa terpelihara selaras dengan prinsip maqasid shariah iaitu menjaga agama, diri, akal, nasab, harta yang diberi penekanan oleh pihak kerajaan pada masa kini. Sekian, terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Jasin.
Tuan Zulkifli bin Ismail - Jasin
Terima kasih Yang Berhormat Timbalan Menteri atas jawapan yang telah diberikan. Soalan tambahan saya sebanyak dua soalan.
Pertama, adakah pihak JAKIM juga telah mengadakan sesi libat urus bersama pihak kerajaan negeri dan pemain industri yang terlibat dalam kerangka Enakmen Jenayah Syariah Negeri bagi mengenal pasti usaha untuk mencegah perkara ini daripada berlaku?
Soalan kedua, adakah kerajaan telah mengkaji keperluan untuk mewujudkan suatu polisi yang jelas bagi melarang mana-mana syarikat perniagaan atau perkhidmatan membabitkan pekerja Muslim dalam urusan penjualan perkhidmatan minuman keras selari dengan kehendak undang-undang negeri bagi melindungi hak-hak pekerja Muslim? Terima kasih.
Dr. Zulkifli bin Hasan
Terima kasih Yang Berhormat Jasin. Soalan pertama berkenaan sesi libat urus negeri dan juga pemain-pemain industri. Bagi menjawab persoalan ini, sebenarnya pihak JAKIM sudah mempunyai beberapa platform iaitu Majlis Dialog Perundangan yang dilakukan dari semasa ke semasa dan juga ada Jawatankuasa Perundangan Islam Kebangsaan. Ini bermakna bahawa sesi libat urus dengan negeri-negeri itu terus berlaku dari semasa ke semasa.
Berkenaan dengan soalan kedua, berkenaan dengan polisi yang jelas. Kalau kita lihat dari aspek berkenaan dengan melarang individu untuk bekerja di premis-premis. Ia melibatkan satu pendekatan yang perlu pendekatan yang holistik dan menyeluruh. Daripada aspek ini, JAKIM buat masa ini memainkan peranan dari aspek memberikan kefahaman, pendidikan dan juga tarbiah dan dakwah.
Dr. Zulkifli bin Hasan
Daripada aspek penguatkuasaan undang-undang, ianya berada di dalam bidang kuasa pihak yang lain. Jadi, secara umumnya, berkenaan dengan kawalan arak ini ada tiga iaitu bidang iaitu peringkat Persekutuan yang di bawah Akta Kastam dan juga Akta Eksais, di peringkat negeri dan juga di peringkat PBT. Maknanya, ia memerlukan satu usaha yang menyeluruh. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Pulai.
Tuan Suhaizan bin Kaiat - Pulai
Okey, terima kasih Timbalan Speaker. Saya rasa bila melihat cashier yang bekerja di 7-Eleven dan juga Speedmart menjual minuman arak itu,
Tuan Suhaizan bin Kaiat - Pulai
saya rasa sedih juga melihat. Apakah ada kaedah mekanisme yang bersesuaian supaya cashier itu boleh terus bekerja tanpa dia deliver minuman arak itu? Contohnya, ada perbincangan dengan PBT yang memberikan panduan supaya jualan arak itu melalui vending machine contohnya. Jadi, dia tidak terus untuk menyerahkan ataupun menjual minuman keras tersebut secara direct. Terima kasih.
Dr. Zulkifli bin Hasan
Terima kasih YB Pulai. Berkenaan dengan isu ini, kita sangat mengalu-alukan idea-idea tambahan. Antara usaha tambahan yang kita lakukan adalah melalui platform dakwah, sama ada melalui media sosial dan kuliah-kuliah oleh guru-guru takmir.
Selain daripada itu, sebelum saya menjawab terus soalan tersebut, kita juga membantu mereka ini yang sedang berusaha mencari jalan keluar dari bekerja di premis arak ini untuk mendapatkan bantuan sementara dari Pusat Zakat, dari Majlis Agama Islam sehingga mereka ini boleh mendapat pekerjaan yang sesuai menerusi program-program pembangunan asnaf, keusahawanan, aspek kemahiran dan sebagainya.
Idea dan juga— seperti yang dimaklumkan oleh YB Pulai itu adalah sangat kita hargai dan kita akan cuba bawa untuk dibincangkan di peringkat-peringkat yang berkaitan. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Saya jemput Tuan Chong Zhemin, Kampar.
9. Tuan Chong Zhemin [Kampar] minta Menteri Belia dan Sukan menyatakan adakah Malaysia berhasrat untuk memohon menganjurkan Piala Thomas 2026 memandangkan tiada negara yang berminat untuk menganjurkannya.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan - Tuan Adam Adli Abd Halim
Tuan Speaker, Tuan Chong Zhemin, Kampar minta Menteri Belia dan Sukan menyatakan adakah Malaysia berhasrat untuk memohon menganjurkan Piala Thomas 2026 memandangkan tiada negara yang berminat untuk menganjurkannya. Jadi, jawapan kami pada masa ini, Malaysia tidak bercadang untuk menjadi tuan rumah Kejohanan Piala Thomas 2026 dan ini adalah sejajar dengan pendirian oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang tidak berhasrat untuk menganjurkan kejohanan berkenaan buat masa sekarang. Sekian, terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Kampar.
Tuan Chong Zhemin - Kampar
Terima kasih jawapan Timbalan Menteri. Pagi ini ada satu berita daripada Portal FMT yang bertajuk, “Big money in entertainment and sport Malaysia doesn’t want” dengan tajuk kecil “Why would any country deprive itself of economic fortune?” Ini bermakna dengan penganjuran sukan-sukan besar seperti Piala Thomas dan juga konsert-konsert besar seperti Taylor Swift yang pernah saya bangkitkan sebelum dalam sidang, di mana ahli ekonomi menjangka Swiftonomics berjaya menjana USD5 bilion di Amerika Syarikat tersebut. Jadi, sekarang pihak pembangkang, parti Bersatu pun bersetuju dengan pendirian ini untuk menganjurkan konsert untuk menjana ekonomi.
Jadi, saya hendak tanya kepada kementerian, apakah respons Timbalan Menteri terhadap dakwaan bahawa barisan selebriti kelas A seperti Taylor Swift berada dalam genggaman kita melalui perjanjian ASM Global, sebuah syarikat pengurusan venue Amerika Syarikat. Namun, kita tidak cukup agresif dan menyebabkan kita terlepas peluang untuk membawa Taylor Swift ke Malaysia dan mengakibatkan kerugian ekonomi yang gagal diraih oleh Malaysia ataupun loss of opportunity cost.
Tuan Adam Adli Abd Halim
Terima kasih. Daripada Piala Thomas kita beralih kepada konsert. Tuan Yang di-Pertua, untuk isu sebegini, kita sudah pun mendapatkan sedikit penjelasan terutama sekali daripada ASM Sportswork iaitu sebuah firma penasihat atau konsultasi sukan yang berpangkalan di Malaysia.
Jadi, sebenarnya dalam isu yang telah dibangkitkan dalam media baru-baru ini berkaitan dengan peluang yang terlepas ini sebenarnya tidak begitu tepat. Konsert yang dipertikaikan ini, yang melibatkan Taylor Swift tidak pun sebenarnya pernah ditawarkan kepada Malaysia di bawah kontrak bersama dengan ASM Sportswork PSM.
Tuan Adam Adli Abd Halim
Walaupun jelajah selebriti berkenaan atau artis berkenaan telah pun diumumkan secara rasmi pada November 2022, Sportswork percaya bahawa industri hiburan akan tahu semua persembahan yang akan datang kerana ia dirancang dengan lebih awal lagi sebelum sebarang pengumuman rasmi dibuat dan kontrak yang ditandatangani pada awal 2023 sebenarnya adalah bertujuan untuk menyokong pengurusan venue secara keseluruhan.
Ini adalah perkhidmatan yang diberikan oleh Sportswork dan ASM yang telah pun dipersetujui dan sedang dilaksanakan secara aktif serta konsisten bersama dengan Perbadanan Stadium sejak daripada dahulu. Erti kata lain, sebenarnya kita bukan di peringkat— Perbadanan Stadium dan KBS dari sudut penganjuran bukan tanggungjawab kita. Permohonan untuk anjurkan sebarang persembahan ataupun event itu terletak di kementerian lain. Kita adalah pihak yang bertanggungjawab menyediakan venue dan accommodate atau facilitate sebarang perkara yang melibatkan logistik dan sebagainya. Itu pendirian KBS. Terima kasih.
Dato’ Mumtaz binti Md Nawi - Tumpat
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Soalan tambahan saya, kita telah melihat saat kegemilangan badminton negara kita telah pun berlalu. Jadi, apakah perancangan pihak kementerian untuk mengembalikan DNA-DNA yang telah pun berjaya cemerlang dalam badminton ini di kalangan komuniti dan saya ingin tanya berapakah jumlah pasukan yang sedang dibina secara serius oleh pihak kementerian untuk melahirkan pemain badminton seperti ini.
Kedua, sejauh manakah kerjasama pihak kementerian dengan Kementerian Pendidikan untuk menganjurkan kejohanan-kejohanan badminton di peringkat sekolah- sekolah rendah dan juga menengah. Terima kasih.
Tuan Adam Adli Abd Halim
Terima kasih Yang Berhormat. Tuan Yang di-Pertua, untuk pengetahuan, kita dari sudut— yalah, kita pun menzahirkan perhatian kepada prestasi yang sedang dipersembahkan oleh setiap atlet kita daripada pelbagai sukan termasuk badminton juga.
Dari sudut itu, untuk menjawab persoalan Yang Berhormat, kita memang adakan kerjasama strategik selain daripada BAM, kita juga adakan dengan akademi badminton yang lain, contohnya Nusa Mahsuri dan juga bersama dengan akademi yang digerakkan oleh Roslin Hashim supaya kita boleh lebarkan talent pool dan pastikan lebih banyak lagi talents baharu ini atau bakat-bakat baharu ini dapat kita cungkil dan dapat kita ketengahkan, seterusnya untuk kita jadikan sebagai salah satu pipeline kepada bakat yang boleh mewakili negara.
Ini usaha yang digerakkan sejak tahun lepas berkait juga dengan beberapa isu yang melanda pemain-pemain perseorangan dan independent. Kita juga adakan inisiatif ataupun sedikit usaha untuk bertemu sendiri dengan mereka untuk mendapatkan feedback, input supaya kita tahu apa yang diperlukan untuk membantu mereka.
Selain daripada itu juga, bagi menjawab soalan kedua, dengan KPM kita bekerjasama menerusi apa yang telah — sebuah jawatankuasa yang dipanggil sebagai high level committee (HLC) yang ditubuhkan menerusi Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Sukan yang mana menetapkan bahawa kerjasama yang lebih rapat dari sudut latihan, penganjuran acara-acara sukan dan pertandingan diadakan antara KBS dan juga KPM supaya tidak berlaku pertindihan dan juga arah tuju ataupun dasar itu selaras. Itu perkara yang sudah pun digerakkan sejak tahun lepas untuk pengetahuan Yang Berhormat. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Puan Hajah Salamiah binti Mohd Nor, Temerloh.
Puan Hajah Salamiah binti Mohd Nor - Temerloh
Terima kasih Tuan Yang di- Pertua.
Patin terkenal di Temerloh, Soalan saya nombor sepuluh.
10. Puan Hajah Salamiah binti Mohd Nor [Temerloh] minta Menteri Digital menyatakan fungsi dan pencapaian Majlis Ekonomi Digital Negara (MED4IRN) sepanjang tahun 2023.
Menteri Digital - Tuan Gobind Singh Deo
Terima kasih Tuan Speaker. Soalan nombor 10. Majlis Ekonomi Digital Negara dan Revolusi Perindustrian Keempat Negara ataupun turut dikenali sebagai MED4IRN adalah merupakan sebuah platform yang dipengerusikan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri yang membawa peranan untuk menyelaras semua inisiatif negara yang berkaitan dengan Ekonomi digital dan Revolusi Perindustrian Keempat.
Aspirasi pendigitalan negara ini merujuk kepada beberapa dokumen dasar yang telah pun diperkenalkan sebelum daripada ini. Antaranya Tuan Speaker, rangka tindakan ataupun bahasa Inggeris Blueprint Economy Digital Malaysia yang dilancarkan pada 19 Februari 2021.
[Timbalan Yang di-Pertua (Dato' Ramli bin Dato' Mohd Nor) **mempengerusikan Mesyuarat****]
Menteri Digital - Tuan Gobind Singh Deo
Dasar Revolusi Perindustrian Keempat Negara yang telah pun dilancarkan pada 1 Julai 2021. Sebagai tambahan Tuan Yang di-Pertua, MED4IRN ini juga adalah merupakan platform kelulusan tertinggi yang membincangkan dan merangka strategi serta kepimpinan dasar di samping menjadi platform penyelesaian masalah bagi mengatasi isu pelaksanaan yang menghalang kemajuan digital dan teknologi Revolusi Perindustrian Keempat di dalam negara. MED4IRN juga berperanan untuk meneliti cadangan yang mendorong pelaksanaan projek berimpak tinggi bagi memaksimumkan penggunaan teknologi digital dan 4IR yang akan memanfaatkan rakyat Malaysia. Peranan Majlis adalah merentasi sektor dan geografi memandangkan digital dan 4IR adalah diguna pakai untuk semua bidang bagi memastikan manfaatnya dirasai oleh rakyat, perniagaan dan kerajaan di Malaysia secara keseluruhannya.
Tuan Yang di-Pertua, Mesyuarat Majlis telah bersidang sebanyak dua kali pada tahun 2023 dengan penglibatan Menteri-menteri pengerusi kluster, Menteri-menteri yang memegang portfolio berkaitan dengan inisiatif digital dan 4IR dan juga wakil-wakil daripada sektor swasta yang terdiri daripada penggiat industri, ahli-ahli akademik, kumpulan pemikir dan pertubuhan masyarakat sivil. Komposisi Majlis ini adalah untuk memastikan perbincangan dan juga keputusan yang dibuat semasa mesyuarat adalah menyeluruh dan mengambil kira pandangan pihak-pihak yang berkepentingan. Di antara pencapaian Majlis pada tahun 2023 adalah seperti berikut – Pertama, meluluskan pelaksanaan inisiatif single window untuk menyelaras dan menyusun semula fungsi terutamanya berkaitan kerjasama merentasi agensi dan penggiat dalam ekosistem syarikat pemula bagi memperkukuh ekosistem syarikat pemula serta meningkat keterlibatan dan juga prestasi syarikat pemula tempatan.
Kedua, mempercepatkan pelaksanaan projek pembangunan Identiti Digital Nasional
(IDN) iaitu sebuah sistem bentuk pengenalan dan pengesahan diri secara digital dengan merujuk kepada sumber tunggal yang sahih berdasarkan ciri-ciri biometrik individu. Inisiatif ini Tuan Yang di-Pertua, akan mempertingkatkan program pendigitalan sektor awam bagi memastikan kemajuan digital yang mampan.
Ketiga, meluluskan cadangan pembangunan Pelan Tindakan KL20 yang menyasarkan Malaysia berada pada kedudukan 20 teratas dalam ekosistem syarikat pemula global menjelang tahun 2030. Pelan ini turut menggariskan usaha membangunkan Kuala Lumpur sebagai hab syarikat pemula dan digital serantau.
Keempat Tuan Yang di-Pertua, mengambil maklum kedudukan ekosistem pembiayaan modal teroka yang merangkumi pembiayaan daripada sektor awam dan sektor swasta di samping mengenal pasti usaha dan juga inisiatif untuk kita mengukuhkan ekosistem pembiayaan modal teroka untuk dipertimbangkan oleh kerajaan.
Pada masa ini Tuan Yang di-Pertua, kementerian dan agensi yang terlibat dengan keputusan-keputusan telah dicapai dalam Majlis sedang mengambil tindakan bagi memastikan pelaksanaan program-program dan dasar-dasar yang diluluskan mencapai
Menteri Digital - Tuan Gobind Singh Deo
objektif yang disasarkan agar memanfaatkan pendigitalan dan teknologi 4IR dapat dirasai oleh semua peringkat rakyat. Terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua
Sila Temerloh.
Puan Hajah Salamiah binti Mohd Nor - Temerloh
Okey. Soalan tambahan saya, bagaimanakah Majlis Ekonomi Digital Negara dapat menjadi penanda aras dalam menetapkan aras strategik bagi transformasi digital Malaysia? Terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua
Sila Menteri.
Tuan Gobind Singh Deo
Terima kasih. Memang wujudnya banyak inisiatif yang telah pun digariskan oleh Majlis dan memang ada banyak dasar-dasar yang dikeluarkan dan kita perlu melaksanakan apa yang kita huraikan dan gariskan di situ. Bagi tujuan tersebut, memang Kementerian Digital akan memainkan peranan untuk kita pastikan bahawa target- target itu yang perlu kita capai itu ditentukan had masa dan sebagainya. Kita akan memantau pelaksanaan bagi objektif-objektif tersebut. Sekiranya perlu untuk keputusan dibuat, agensi- agensi berkaitan akan mengambil tindakan dan juga kementerian-kementerian yang bertanggungjawab untuk inisiatif-inisiatif tertentu tersebut akan mengambil tindakan. Terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua
Saya jemput Ledang.
Tuan Syed Ibrahim bin Syed Noh - Ledang
Terima kasih Datuk Speaker. Soalan saya, susulan daripada keputusan yang telah dibuat oleh Majlis ini untuk menyediakan RM28 juta bagi platform MYStartup iaitu untuk tujuan sebagai tetingkap tunggal ataupun single window tersebut di mana kita hendak menghimpunkan syarikat pemula di samping kita hendak mempermudahkan aktiviti perniagaan mereka sepanjang lifetime, sepanjang kitar hayat mereka. Jadi, apakah status daripada segi penggunaan peruntukan tersebut, RM28 juta tersebut? Juga, apakah inisiatif-inisiatif untuk kita optimumkan dana sebanyak RM200 juta di bawah pelbagai agensi-agensi yang juga membiayai dan menjadikan ia sebagai modal teroka di bawah satu platform? Terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua
Silakan Menteri.
Tuan Gobind Singh Deo
Terima kasih Yang Berhormat daripada Ledang. Ledang minta butir-butir diberikan berkenaan dengan perbelanjaan-perbelanjaan tersebut. Saya boleh bekalkan secara bertulislah kerana ia melibatkan banyak aspek dan juga tahap perbelanjaan sehingga sekarang. Tetapi, apa yang disebut oleh Yang Berhormat daripada Ledang itu sangat penting. Kita lihat kepada persoalan berkenaan dengan dana yang boleh digunakan untuk kita membantu syarikat-syarikat pemula dan kita juga kena lihat kepada dunia digital dalam masa depan di mana kita lihat bahawa ini adalah akan menjadi satu daripada sektor ekonomi yang sangat penting.
Dalam keadaan tersebut, seperti mana Ledang juga sedia maklum, Ledang juga sebahagian ahli Majlis. Kita akan mendapat pendapat daripada semua pemegang taruh Tuan Yang di-Pertua, khususnya daripada MAVCAP berkenaan bagaimana kita boleh mengambil tindakan untuk pastikan bahawa kita dapat membawa bersama apa yang dinyatakan sebagai business. Kita juga ada perbincangan berkenaan dengan hala tuju strategik untuk pastikan bahawa segala dana yang sedia ada dapat kita salurkan kepada target, target tertentu. Yang sangat penting, bagaimana dana yang disediakan oleh kerajaan juga boleh digunakan untuk tujuan tersebut, Ledang.
Dalam keadaan itu, kita juga akan melancarkan dalam bulan April nanti Tuan Yang di-Pertua, apa yang disebut sebagai KL20. Dalam proses pelancaran ini, akan dibuat pengumuman oleh Yang Berhormat Perdana Menteri berkenaan dengan inisiatif-inisiatif tertentu yang juga dapat membantu syarikat-syarikat pemula daripada beberapa aspek termasuk juga dari aspek saluran dana. Jadi dalam bulan April, kita akan memberikan butir- butir terperinci berkenaan dengan inisiatif itu. Tetapi untuk menjawab soalan berkaitan bagaimana wang tersebut digunakan secara khusus dan spesifik, butir-butirnya saya akan jawab melalui jawapan bertulis sekiranya diizinkan Tuan Yang di-Pertua. Terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua
Baik, terima kasih. Seterusnya saya jemput Tuan Fong Kui Lun, Bukit Bintang.
Tuan Fong Kui Lun - Bukit Bintang
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Soalan saya nombor 11.
Tuan Yang di-Pertua
Silakan Menteri.
11. Tuan Fong Kui Lun [Bukit Bintang] minta Perdana Menteri menyatakan apakah cadangan untuk memberi bantuan kepada golongan gelandangan yang semakin bertambah di kawasan sekitar pusat bandar Kuala Lumpur.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) - Dr. Zaliha binti Mustafa
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, Yang Berhormat Bukit Bintang. Dalam pelaksanaan operasi menyelamat gelandangan semasa pandemik Covid-19 di Kuala Lumpur sepanjang tahun 2020 hingga tahun 2021, seramai 1,346 orang gelandangan telah pun direkodkan. Manakala cerapan terkini yang telah dijalankan oleh DBKL pada 14 Februari 2024 di lima zon hotspot dengan izin, di sekitar Kuala Lumpur mendapati sejumlah 414 orang gelandangan berada di kawasan hotspot tersebut.
Berdasarkan cerapan yang telah dilaksanakan, kategori gelandangan yang telah kita kenal pasti adalah terdiri daripada warganegara dan juga bukan warganegara dan golongan gelandangan ini adalah seperti berikut– Pertama, sihat dan berupaya bekerja. Keduanya, ada di antara mereka yang memiliki pekerjaan, tetapi dalam keadaan yang miskin. Ada juga penyalahgunaan dadah di kalangan mereka, masalah-masalah kesihatan seperti sakit mental dan sebagainya, orang kelainan upaya juga ada. Bukan warganegara contohnya yang berdokumen dan tidak berdokumen dan juga yang bukan warganegara ada yang di antara mereka yang ada suaka politik dan juga masalah-masalah lain seperti mereka yang ada masalah dalam keluarga Pihak kerajaan sentiasa komited dalam pengurusan gelandangan di Kuala Lumpur ini melalui kerjasama strategik dengan pelbagai kementerian, agensi dan juga badan berkanun dan badan-badan bukan kerajaan iaitu NGO seperti KDN, PDRM, JIM, MKN, KKM, KPWKM, AADK, JPN, SWCorp juga dan YKN.
Jadi pada masa ini, kerajaan telah menubuhkan beberapa pusat khidmat gelandangan seperti yang berikut iaitu Anjung Kembara, Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur ataupun lebih dikenali sebagai Anjung Kembara yang dikendalikan oleh DBKL. Pusat Khidmat Gelandangan Medan Tuanku. Pusat Pembelajaran Komuniti Chow Kit dan juga Anjung Singgah yang di bawah selenggaraan YKN. Pusat gelandangan ini menyediakan perkhidmatan penginapan sementara, latihan berserta kelas kemahiran, penjodohan pekerjaan — Bukan cari jodoh ya. Penjodohan pekerjaan atau job matching dan pusat pengagihan makanan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) - Dr. Zaliha binti Mustafa
Selain daripada itu, pihak JWP juga mewujudkan Pusat Transformasi Gelandangan iaitu Anjung Kelana sebagai tempat untuk membimbing dan melatih golongan gelandangan warganegara yang produktif, yang sihat mentalnya dan tubuh badannya segar agar bersedia untuk menyara kehidupan sendiri dan kembali kepada masyarakat.
Setiap minggu beberapa program akan dilaksanakan di Anjung Kembara seperti pembangunan jati diri dan personaliti, pembangunan kerohanian dan keagamaan, pembangunan kemahiran dan keusahawanan, program kemasyarakatan dan juga program- program kerjaya. Program ini disokong oleh rakan-rakan strategik antaranya JAKIM, JAWI, syarikat korporat, pelajar universiti dan juga NGO.
Selain itu, peserta Anjung Kembara juga akan diberikan peluang untuk mengikuti program rumah bimbingan iaitu program penempatan gelandangan di kawasan perumahan yang disediakan oleh DBKL. Program ini disediakan kepada gelandangan mandiri iaitu gelandangan yang bekerja tetapi tiada tempat tinggal.
Dalam membantu gelandangan ini khususnya di Kuala Lumpur, pihak JWP ingin juga memohon kerjasama daripada semua NGO dan juga NGI-NGI agar dapat berganding bahu bersama dengan JWP dan DBKL khususnya dalam aktiviti sumbangan dan juga pengagihan makanan. Pihak NGO dan NGI juga disarankan untuk berdaftar dengan pihak DBKL bagi memastikan kelancaran program bantuan makanan, seterusnya mengelak daripada
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) - Dr. Zaliha binti Mustafa
berlakunya lambakan sumbangan ataupun juga masalah-masalah kebersihan di Kuala Lumpur khususnya kita nak berdepan dengan Ramadhan ini.
Jadi program agihan makanan yang telah diselaraskan dan dipantau secara tersusun dan sistematik oleh pihak DBKL dan YKN dan sehingga ini kita ada tiga pusat agihan makanan berpusat di Kuala Lumpur iaitu Pusat Khidmat Gelandangan Medan Tuanku, Pusat Pembelajaran Komuniti Chow Kit dan juga Anjung Kembara. Pihak DBKL telah menyelaras aktiviti agihan makanan ini dengan NGO yang berdaftar mengikut jadual bagi mengelakkan pertindihan agihan makanan dan memastikan agihan ini berjalan dengan begitu lancar.
Sekian, terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua
Baik. Saya jemput Bukit Bintang.
Tuan Fong Kui Lun - Bukit Bintang
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Soalan tambahan saya, saya ingin bertanya Yang Berhormat Menteri. Adakah terdapat kajian ke atas gelandangan di Kuala Lumpur Wilayah Persekutuan? Siapa pihak yang terlibat dan apakah hasil kajian tersebut dan cadangan penyelesaiannya? Terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua
Sila Menteri. Terima kasih.
Dr. Zaliha binti Mustafa
Terima kasih Yang Berhormat. Tuan Yang di-Pertua, untuk makluman, sebenarnya sebarang hala tuju dan yang dijalankan oleh JWP ke atas golongan gelandangan ini sememangnya adalah berdasarkan kajian ya ataupun pemerhatian secara tidak langsung dan interaksi-interaksi yang dilakukan oleh JWP dengan agensi-agensi rakan strategik dan juga golongan gelandangan sendiri.
Tuan Afnan Hamimi bin Taib Azamudden - Alor Setar
[Bangun]
Dr. Zaliha binti Mustafa
Pertama, hasil daripada pemerhatian JWP melalui operasi menyelamat gelandangan yang telah dijalankan, beberapa inisiatif yang menjadi keperluan gelandangan telah dikenal pasti secara tidak langsung. Daripada maklumat ini pihak JWP dan agensi yang terlibat dapat membentuk program-program yang khusus untuk membantu golongan gelandangan ini.
Kedua, kajian-kajian yang dijalankan juga oleh pihak universiti dan juga NGO yang turut dijadikan rujukan utama dalam usaha JWP untuk meneliti keadaan semasa dan keperluan golongan rentan ini. Antara agensi yang terlibat adalah JWP sendiri, Jabatan Imigresen Malaysia, AADK, Kementerian Kesihatan, Yayasan Kebajikan Negara, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, JAWI, juga JKM, KDN, Jabatan Pendaftaran Negara, PDRM, DBKL dan juga NGO-NGO yang berkaitan. Terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua
Baik, Yang Berhormat Alor Setar.
Tuan Afnan Hamimi bin Taib Azamudden - Alor Setar
Terima kasih Tan Sri Yang di-Pertua, Yang Berhormat Menteri. Tadi disebutkan ada program pembangunan untuk yang telah pun dibuat bersama beberapa rakan strategik. Saya ingin tahu berapa banyak yang telah berjaya dilahirkan daripada program ini? Kalau perlu jawapan bertulis, saya bersedia menerima.
Kedua Tan Sri Yang di-Pertua, untuk gelandangan bukan warganegara, yang bukan warganegara Malaysia. Tadi Yang Berhormat Menteri sebut untuk warganegara. Untuk bukan warganegara Malaysia pun juga banyak dilihat tidak terurus. Apa pelan jangka panjang untuk isu tersebut?
Ketiga Tan Sri Yang di-Pertua, terakhir. Tadi juga Yang Berhormat Menteri sebut ada rakan strategik yang melibatkan institusi agama. Itu untuk pelan pembangunan kemahiran barangkali. Apakah mungkin Yang Berhormat Menteri ataupun kerajaan boleh bercadang untuk menjadikan masjid sebagai tempat untuk perlindungan sementara kepada gelandangan warganegara terutamanya Muslim dengan penyusunan yang tersusun. Terima kasih Tan Sri Speaker.
Tuan Yang di-Pertua
Sila Menteri.
Dr. Zaliha binti Mustafa
Terima kasih Yang Berhormat Alor Setar. Untuk makluman Yang Berhormat, saya ada data sedikit tentang ini soalan pertama tadi. Pada tahun 2016 sehingga sekarang kita ada seramai 1,927 orang yang telah pun berjaya mendapat pekerjaan
Dr. Zaliha binti Mustafa
Yang Berhormat. Jadi program ini kita adakan di Anjung Kembara dengan kerjasama YKN, Jabatan Tenaga Kerja dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) untuk membantu kumpulan gelandangan ini supaya mereka dapat menyara kehidupan mereka sendiri dan akhirnya kembali ke dalam masyarakat.
Program Pembangunan Kemahiran dan Keusahawanan juga telah diperkenalkan pada tahun lepas 2023 di mana contohnya ada agak spesifik yang ini kelas jahitan kasut, kelas jahitan pakaian diadakan bagi memberi peluang kepada golongan gelandangan ini yang berminat untuk membuka perniagaan sendiri dan sehingga kini kita ada 31 orang yang mengikuti program seperti ini.
Bagi soalan yang kedua yang bukan warganegara. Yang Berhormat, kita bekerjasama dengan KDN, dengan JIM juga untuk melihat mereka-mereka yang kita jumpa yang bukan warganegara dan ada sebahagiannya mereka letak di depot contohnya, ya. Saya bersetuju untuk mereka-mereka yang beragama Islam ini kita bekerja secara rapat dengan institusi keagamaan khususnya masjid dan saya sendiri insya-Allah akan terus untuk berbincanglah nanti dengan pihak JAKIM dan sebagainya untuk kita lihat di mana kita boleh memperkasakan mereka. Terima kasih.
Tan Sri Yang di-Pertua
Baik. Saya jemput Dato’ Rosol bin Wahid, Hulu Terengganu.
Dato’ Rosol bin Wahid - Hulu Terengganu
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Soalan saya nombor 12.
12. Dato' Rosol bin Wahid [Hulu Terengganu] minta Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup menyatakan sejauh manakah Suruhanjaya Persaingan Malaysia
(MyCC) telah berperanan dengan berkesan khususnya dalam menangani masalah kartel dalam rantaian pengedaran tempatan dan pengimportan barangan berasaskan makanan.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup - Puan Hajah Fuziah binti Salleh
Terima kasih Tan Sri Yang di-Pertua. Untuk makluman Yang Berhormat Hulu Terengganu, KPDN melalui agensinya Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) diberi kuasa di bawah Akta Persaingan 2010 iaitu Akta 712 untuk melindungi proses persaingan dan salah satu caranya adalah menangani kartel-kartel yang memberi kesan negatif kepada harga barangan dan kos sara hidup rakyat.
MyCC telah menjadikan sektor makanan dan pertanian sebagai fokus utama penguatkuasaan Akta 712 melalui tahun lepas. MyCC akan bertindak tegas without fear or favour dengan izin Tan Sri Yang di-Pertua terhadap mana-mana perusahaan dalam dua sektor ini jika mereka terlibat dalam kartel atau yang menyalahgunakan kuasa dominannya.
Sejak penubuhan MyCC pada tahun 2011 sehingga kini MyCC telah mengenakan penalti kewangan terhadap lebih 250 buah syarikat untuk pelanggaran berkaitan kartel dan penyalahgunaan kuasa dominan dengan jumlah penalti kewangan lebih RM500 juta. MyCC juga sedang menyiasat lebih 500 perusahaan yang disyaki terlibat dalam aktiviti kartel yang berkaitan dengan penetapan harga dan tipuan bida. Selain itu, MyCC akan membentangkan pindaan terhadap Akta Persaingan 2010 iaitu Akta 712 dan Akta Suruhanjaya Persaingan 2010, Akta 713 dalam tahun ini.
Untuk makluman Yang di-Pertua, pindaan terhadap Akta 712 dan Akta 713 ini bakal mengukuhkan lagi MyCC melalui pertama, kuasa penyiasatan dan penguatkuasaan dengan tujuan untuk mencapai penyelesaian penyiasatan dan pengeluaran keputusan dengan lebih efektif dan efisien.
Kedua, memperkenalkan rejim kawalan penggabungan ataupun merger control regime yang akan memberi kuasa kepada MyCC mengenakan tindakan intervensi awal terhadap pembentukan kartel atau monopoli baharu melalui pengawalan aktiviti penggabungan.
Tan Sri Yang di-Pertua, pada masa yang sama, MyCC sedang dalam proses menambah kekuatannya dari segi kapasiti melalui penambahan bajet sebanyak RM10 juta yang diluluskan melalui belanjawan baru-baru ini.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup - Puan Hajah Fuziah binti Salleh
Selain itu, MyCC turut giat dalam melaksanakan advokasi kepada pemegang- pemegang taruh relevan seperti pengguna, badan-badan kerajaan, persatuan pemain industri dan sebagainya untuk meningkatkan kesedaran tentang peri pentingnya perundangan persaingan dengan harapan ia dapat mengurangkan aktiviti kartel dengan jayanya. Sejak penubuhan MyCC pada tahun 2011, lebih dari 350 program advokasi telah dijalankan dan untuk tahun ini dijangka sekurang-kurangnya 20 program advokasi akan dijalankan. Terima kasih Tan Sri Yang di-Pertua.
Tan Sri Yang di-Pertua
Baik, terima kasih. Saya jemput Hulu Terengganu.
Dato’ Rosol bin Wahid - Hulu Terengganu
Terima kasih Yang di-Pertua, terima kasih Yang Berhormat Menteri dengan jawapan yang cukup baik.
Cuma persoalannya ialah adakah cadangan untuk menambah lagi kakitangan MyCC yang dikatakan sekarang ini serama 17 orang.
Kedua, kewujudan MyCC adalah untuk membendung mereka yang monopoli harga dan sebagainya. Tahniah kepada MyCC yang telah mendenda ataupun mengkompaun kepada lima syarikat ayam sebanyak 400 - 500 milion.
Cuma, apakah pandangan kementerian sekarang ini? Minggu depan kita akan masuk bulan Ramadhan dan dikatakan sewaan lot berniaga di pasar Ramadhan ini mencecah sehingga RM17,000 satu lot dan ini juga dikatakan terlibat dengan kartel. Apakah MyCC tidak melihat perkara ini dan yang seterusnya Yang di-Pertua, kepatuhan kepada arahan ataupun dapatan MyCC bagaimana untuk nak impose kerana dikatakan ada agensi yang telah dinasihatkan oleh MyCC tetapi mereka tidak mengikut nasihat MyCC yang disampaikan kepada mereka. Terima kasih Yang di-Pertua.
Tuan Yang di-Pertua
Terima kasih. Menteri.
Puan Hajah Fuziah binti Salleh
Tan Sri Yang di-Pertua, berkenaan dengan bahagian yang pertama itu ini yang saya sebut dalam jawapan saya tadi RM10 juta dalam Bajet 2024 akan digunakan untuk menambah jumlah pegawai dan menambah kekuatan di dalam MyCC itu sendiri iaitu agensi MyCC, ya.
Jadi, itu dan berkenaan dengan bazar Ramadhan saya ambil kira ini sebagai aduan dan MyCC boleh melakukan siasatan berkenaan dengan perkara ini sama ada benar atau tidak wujudnya kartel seperti yang didakwa oleh Yang Berhormat Hulu Terengganu.
Berkenaan sekiranya ada yang tidak mengikut kepada arahan MyCC kita akan kembali kepada akta Tan Sri Yang di-Pertua, kerana kita akui bahawa dalam akta itu perlu diperkukuhkan lagi sebab itu kita nak pinda akta itu sebab dalam akta ini Tan Sri Yang di- Pertua, ada yang tak sebut very specific. Contohnya dalam kes lima syarikat kartel makanan ayam itu kita dapat bukti WhatsApp digunakan untuk membuat pakatan dan tapi dalam kita punya akta tak sebut very specific. Kita perlu mengukuhkan lagi akta itu supaya boleh kita kuatkuasakan dengan lebih baik. Terima kasih, Tan Sri Yang di-Pertua.
Tuan Yang di-Pertua
Baik, terima kasih. Saya difahamkan Batang Sadong tidak berada dalam Dewan, seterusnya.
Tuan Cha Kee Chin - Rasah
Tan Sri, Tan Sri soalan tambahan.
Tuan Yang di-Pertua
Oh, silakan. Silakan, YB.
Tuan Cha Kee Chin - Rasah
Terima kasih, Tan Sri untuk saya kemukakan soalan tambahan kepada Yang Berhormat Timbalan Menteri.
Saya meneliti jawapan yang telah diberikan oleh Yang Berhormat Timbalan Menteri nampak sangat MyCC memberikan tumpuan terhadap industri yang berkaitan dengan makanan. Satu tindakan inisiatif yang sangat baik.
Cuma saya nak tanya berkenaan dengan kartel beras sebab Yang Berhormat Menteri KPDN pernah sebutkan perkara ini dalam dua tiga minggu yang lepas. Apakah status terkini?
Sama ada MyCC sudah mula siasat?
Tuan Cha Kee Chin - Rasah
Kedua, tadi Yang Berhormat Timbalan Menteri ada sebut penalti sejak 2011 sebanyak RM500 juta terlibat termasuk saya percaya yang berkaitan dengan lima syarikat makanan ayam ternakan tersebut. Jadi, apakah status tersebut yang lima syarikat tersebut telah membayar penalti yang telah dikenakan? Minta jawapan daripada Yang Berhormat.
Tuan Yang di-Pertua
Baik, terima kasih Rasah. Sila Menteri.
Tuan Cha Kee Chin - Rasah
Terima kasih.
Puan Hajah Fuziah binti Salleh
Terima kasih, Yang Berhormat Rasah. Tan Sri Yang di-Pertua, izinkan saya mengambil peluang ini untuk memberi sedikit penjelasan berkenaan dengan isu padi dan beras ini kerana kita ada Akta Kawalan Padi dan Beras. Akta Kawalan Padi dan Beras ini punca kuasa untuk menguatkuasanya sepenuhnya di bawah KPKM. Itu perlu saya maklumkan kepada Ahli-ahli Dewan yang mulia ini.
Jadi, apabila kita nak kuat kuasa contohnya apabila ada aduan berkenaan dengan kemungkinan tukar kampit beras beras tempatan, beras import kepada beras import. Jadi, penguatkuasaan itu di bawah kawal selia padi beras dan penguat kuasa KPDN hanya boleh masuk ke tempat tersebut dengan bersekali dengan Penguatkuasa Kawal Selia Padi dan Beras. Tanpa Penguatkuasa Kawal Selia Padi dan Beras, penguatkuasa KPDN tak boleh masuk. Ini saya nak terangkan berkenaan dengan punca kuasa itu.
Berkenaan dengan isu kartel saya ingin memaklumkan Dewan yang mulia ini bahawa MyCC telah pun memulakan kajian. Sekiranya ada isu persaingan di sepanjang rantaian bekalan berkenan dengan padi dan beras. Contoh, apabila ada aduan daripada pesawah berkenaan dengan padi - benih padi angin contohnya, sama ada, ada isu persaingan di situ.
Sama ada pesawah hanya boleh beli daripada satu yang source, daripada satu source dengan izin Tan Sri Yang di-Pertua.
Jadi, itu semua di dalam - MyCC telah pun memulakan kajian dan belum ada dapatan lagi tetapi siasatan telah dimulakan. Terima kasih. Berkenaan dengan lima syarikat itu mereka dalam proses membuat rayuan. Terima kasih, Tan Sri Yang di-Pertua.
Tuan Yang di-Pertua
Baik, seperti yang saya sebut tadi bahawa Batang Sadong tidak berada dalam Dewan untuk menjawab. Seterusnya saya jemput Tuan Zakri bin Hassan, Kangar.
[Soalan No.13 – YB Puan Rodiyah binti Sapiee (Batang Sadong) tidak hadir]
14. Tuan Zakri bin Hassan [Kangar] minta Menteri Belia dan Sukan menyatakan apakah usaha kementerian dalam penyediaan dan pembangunan e-sport di kawasan luar bandar memandangkan e-sport kini adalah sukan yang amat diminati oleh golongan belia termasuklah di kawasan luar bandar.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan - Tuan Adam Adli Abd Halim
Terima kasih, Tan Sri Speaker. Yang Berhormat Tuan Zakri bin Hassan minta Menteri Belia dan Sukan menyatakan apakah usaha kementerian dalam penyediaan dan pembangunan e-sport di kawasan luar bandar?
Baik, Tuan Yang di-Pertua pihak Kementerian Belia dan Sukan kita sentiasa komited dalam melaksanakan pelbagai inisiatif untuk memastikan industri e-sukan ini sentiasa berkembang pesat di seluruh negara termasuk di kawasan luar bandar. Untuk tujuan yang demikian, kita telah pun melancarkan pada tahun lepas Garis Panduan Pembangunan Sukan Elektronik Kebangsaan (NESDEG) yang telah dilancarkan secara rasmi pada Jun 2023.
Matlamatnya adalah untuk dijadikan sebagai sebuah panduan kepada semua pemegang taruh berkaitan dengan tadbir urus yang lebih efektif, hak dan bertanggungjawab dalam kalangan penggiat dan pemain industri selain menggariskan panduan dan prosedur untuk membuat keputusan, kawalan dalaman, dan pengurusan risiko yang lebih baik. Bagi tujuan advokasi yang berkaitan dengan NESDEG ini kita telah pun menerusi Esport Integrated (ESI) dengan kerjasama Persekutuan Sukan Elektronik Malaysia (MESF) kita laksanakan jelajah NESDEG di seluruh negara pada September hingga Disember 2023 yang lepas.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan - Tuan Adam Adli Abd Halim
Kita turut laksanakan bengkel bersama dengan komuniti dan kempen secara promosi bergerak di seluruh negara melibatkan lebih 1,700 orang peserta bagi tempoh tiga bulan pelaksanaan. Untuk makluman Yang Berhormat Tan Sri Yang di-Pertua, KBS melalui ESI juga kita telah pun memperkenalkan satu peruntukan khusus e-sukan pada tahun 2023 iaitu dana e-sukan KBS. Dana ini adalah bagi tujuan untuk memberi galakan kepada penggiat industri tempatan untuk menganjurkan lebih banyak program pertandingan dan acara sukan serta merancakkan ekosistem e-sukan negara terutama sekali di peringkat akar umbi.
Sebanyak 14 projek telah pun diperuntukkan sejumlah RM250,000 dan sedang dijalankan termasuk beberapa kawasan luar bandar seperti Simunjan di Sarawak, Ranau di Sabah, Alor Gajah di Melaka dan salah satu projek yang menerima dana tersebut juga khusus bagi kumpulan belia Orang Asli dengan penglibatan seramai 341 orang daripada Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak dan Selangor.
Bagi tujuan untuk mengetengahkan bakat-bakat baru e-sukan ini, kejohanan utama yang diterajui oleh Kementerian Belia dan Sukan adalah Malaysia Esports League yang dilaksanakan sebanyak tiga edisi bermula tahun 2021 hingga 2023 yang telah pun mendapat penyertaan seramai 26,000 orang peserta sejak daripada diperkenalkan.
Yang ini adalah kejohanan yang menjadi platform utama kepada semua pemain termasuk bandar ataupun luar bandar bagi bertanding secara kompetitif dan sebagai persediaan individu ataupun pasukan sebelum menyertai sebarang kejohanan profesional dan antarabangsa.
Jadi, MEL ini secara khusus turut melibatkan liga di peringkat negeri masing-masing dengan kerjasama persatuan sukan elektronik negeri-negeri bagi menjangkau - untuk kita menjangkau kepada lebih ramai golongan belia luar bandar dan komuniti setempat.
Tuan Yang di-Pertua
Baik, saya jemput Kangar.
Tuan Zakri bin Hassan - Kangar
Tahniah atas komitmen yang hebat daripada KBS berkaitan dengan kejohanan e-sport dan saya baru nak tanya, saya baru nak cadang kepada KBS untuk mengadakan ESPL. Kalau dalam sukan-sukan lain dia ada MFL dan macam EPL dan saya ingin nak mencadangkan supaya ada ESPL. Tetapi memandangkan KBS telah merancang banyak program jadi saya rasa ESPL itu tak perlulah.
Cuma saya nak minta KBS untuk kalau boleh berkolaborasi dengan Kementerian Pendidikan untuk mengadakan kejohanan e-sport di peringkat sekolah memandangkan e- sport di peringkat sekolah ataupun di peringkat kementerian belum lagi dijalankan. Jadi, saya minta komen daripada Timbalan Menteri. Terima kasih.
Tuan Adam Adli Abd Halim
Terima kasih. Komen ringkas saya seperti juga soalan yang ditujukan oleh Tumpat sebentar tadi. Bagi tujuan kerjasama dengan KPM, kita menerusi high-level committee telah pun mencadangkan supaya diadakan kajian yang lebih menyeluruh bagi tujuan pelaksanaan e-sukan ini di peringkat sekolah.
Cuma, memang ada kekangan terutama sekali dari sudut pemilihan jenis permainan ataupun e-sukan yang boleh kita perkenalkan di peringkat sekolah. Kerana ada setengahnya menyentuh mungkin banyak sensitiviti ibu bapa, yang memerlukan kita untuk advocate lebih sebelum kita boleh laksanakan.
Ada beberapa sekolah yang telah pun melaksanakan terutama sekali memperkenalkan pertandingan e-sukan yang berbentuk contohnya eFootball di peringkat sekolah untuk disertai oleh pelajar-pelajar kita. Walau bagaimana sekalipun, kita yakin bahawa dengan begitu banyak peluang dan juga potensi menerusi e-sports. Memandangkan Malaysia juga adalah salah sebuah negara dalam rantau ini yang muncul sebagai peneraju dalam bidang e-sports. Sama ada sebagai pasukan yang bertanding mahupun sebagai pengacara atau pengendali satu-satu kejohanan.
Kita yakin bahawa di peringkat KPM, tentu sekali akan ada jalan untuk kita perkenalkan e-sport ini supaya kita boleh lahirkan lebih ramai lagi– bukan sahaja atlet tetapi juga ramai pemain-pemain industri. Kerana industri e-sports ini nilainya bilion dan kita nampak banyak peluang dekat situ.
Tuan Yang di-Pertua
Baik, saya jemput Ampang.
Puan Hajah Rodziah binti Ismail - Ampang
Terima kasih Tan Sri Speaker.
Timbalan Menteri, saya ingin bertanya tentang hala tuju e-sport. Apakah kita lihat e-sports ini sebagai satu sukan semata-mata?
Kerana ini sedikit kalau itu maknanya ada kebimbangan di kalangan banyak pihak terutama ibu bapa lah tentang tumpuan anak-anak kepada jenis sukan yang begini. Tetapi saya juga berpandangan jauh. Kita dapati bahawa e-sports ini kalau kita betul hala tujunya ia boleh ada tambah nilai ya kepada mereka yang terlibat itu sendiri.
Tetapi, saya hendak tanya dengan Timbalan Menteri. Apakah hala tuju sebenar dalam konteks supaya e-sports ini boleh menjana pendapatan, khususnya kepada pemain- pemain yang ada? Terima kasih.
Tuan Adam Adli Abd Halim
Terima kasih Yang Berhormat. Untuk pengetahuan Dewan dan Tuan Yang di-Pertua, e-sports ini macam saya sebut tadi adalah sebuah industri yang bernilai bilion ringgit. Malah, untuk pengetahuan pada tahun ini penghujung tahun pada bulan Disember kita akan menjadi tuan rumah kepada salah satu kejohanan terbesar dunia M6 yang mana nilai hadiahnya adalah USD1 juta. Menjadikan sangat ramai pemain-pemain tempatan kita sedang mencuba nasib dan sedang bersaing di peringkat tempatan untuk melayakkan diri mereka merebut takhta juara tersebut.
Ini juga melahirkan lebih ramai pemain-pemain industri yang bukan sahaja bersifat sebagai pemain permainan tersebut, sebaliknya dalam bidang coaching; dalam bidang casting; dalam bidang programming; dalam bidang dengan izin marketing; dalam bidang graphic design dan sebagainya.
Ini adalah sebuah industri yang sangat robust yang mana menuntut pelbagai disiplin untuk diamalkan. Saya melihat juga e-sports ini sebagai salah satu gateway kepada minat golongan pelajar sekolah kita kepada bidang sains teknologi juga. Ini adalah salah satu inisiatif yang kita jadikan ataupun salah satu hala tuju yang kita gariskan menerusi NESDEG.
Kita mahu supaya industri e-sukan ini dijadikan sebuah stepping stone ataupun sebuah batu loncatan kepada lebih ramai kejayaan oleh golongan-golongan belia kita dalam pelbagai bidang. Bukan sahaja persaingan permainan tersebut tetapi juga dari sudut penganjuran dan juga perniagaan atau industri itu sendiri. Terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua
Baik, Yang Berhormat sekarang tamatlah sesi untuk waktu pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan pada hari ini.
[Sesi untuk Pertanyaan-pertanyaan bagi Jawab Lisan tamat]
Aturan Urusan Mesyuarat dibaca bagi menyambung semula perbahasan yang ditangguhkan atas masalah; “Bahawa suatu ucapan yang tidak sepertinya dipersembahkan kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di- Pertuan Agong, demikian bunyinya:
“Ampun Tuanku, Patik, Tuan Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Dewan Rakyat Malaysia di dalam Persidangan Parlimen, memohon ampun mempersembahkan suatu ucapan yang ikhlas daripada Majlis Dewan Rakyat mengucapkan berbanyak- banyak syukur dan menjunjung kasih Titah Kebawah Duli
Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong semasa membuka Penggal Ketiga, Parlimen Yang
Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob - Bera
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Terlebih dahulu saya menjunjung kasih ke atas Titah Diraja Kebawah Duli Yang Amat Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sempena Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga, Parlimen Ke-15.
Ampun Tuanku beribu-ribu ampun. Patik merafak sembah setinggi-tinggi ucapan tahniah kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah.
Patik juga merafak sembah menjunjung kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang dan Tengku Ampuan Pahang yang telah menaungi negara dan rakyat jelata selama lima tahun khususnya semasa di bawah pentadbiran Kerajaan Keluarga Malaysia dengan adil serta bijaksana.
Tuan Yang di-Pertua, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di- Pertuan Agong Sultan Ibrahim telah menyentuh mengenai integrasi antara kaum yang masih belum sempurna akibat kegagalan dalam menguasai Bahasa Kebangsaan dan pemahaman budaya hidup kaum lain.
Justeru, sensitiviti kaum perlu di jaga. Maka, tanggungjawab yang besar perlu digalas oleh pemimpin supaya lebih berhati-hati untuk mengeluarkan sebarang kenyataan.
Kenyataan seperti mengangkat Kampung Baru Cina sebagai Tapak Warisan UNESCO.
[Tepuk] dan Bak Kut Teh sebagai makanan warisan tidak akan mengukuhkan integrasi kaum malah boleh menimbulkan polemik yang berpanjangan.
Amat menyedihkan juga, selepas hampir 70 tahun negara mencapai kemerdekaan masih ramai yang tidak mampu menguasai bahasa Melayu dengan baik dan betul. Kita masih gagal dalam memupuk perpaduan. Sebagai sebuah negara bangsa yang sebenar-benarnya, integrasi kaum hanya pada lapisan formal tidak menjalar sehingga ke akar umbi. Oleh itu, saya menjunjung dan menyokong saranan Yang di-Pertuan Agong supaya jurang defisit sosial perlu dirapatkan segera.
Tuan Yang di-Pertua, baru-baru ini Bank Negara Malaysia telah mengumumkan pertumbuhan KDNK sebanyak 3.7 peratus pada tahun 2023, dipacu oleh aktiviti ekonomi dan keadaan pasaran buruh yang terus pulih. Meskipun pertumbuhan tersebut tidak mencapai sasaran 4-5 peratus seperti yang ditetapkan berikutan persekitaran luaran yang mencabar.
Namun, dalam masa yang sama kita harus akui bahawa faktor dalaman juga menyebabkan ekonomi negara tidak menunjukkan prestasi yang baik termasuk kejatuhan nilai ringgit. Sebagai contoh, Pusat Kajian Pasaran Buruh Masa Hadapan (EU-ERA) THE FUTURE mendedahkan bahawa kadar faedah Amerika Syarikat secara empirical tidak mempengaruhi pergerakan ringgit di pasaran antarabangsa.
Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob - Bera
Kajian pusat tersebut juga mendapati bahawa tahap daya saing serta kepelbagaian ekonomi, kadar inflasi, pelaburan, harga minyak, pembangunan kewangan, produktiviti, percukaian dan eksport mempengaruhi kedudukan ringgit.
Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob - Bera
Oleh itu, negara memerlukan satu strategi yang jelas untuk jangka sederhana dan jangka panjang untuk kestabilan ekonomi daripada kekejutan persekitaran luaran. Ini kerana pelabur mahukan situasi di mana mereka boleh menjangka masa hadapan di negara ini.
Keadaan yang samar-samar menyukarkan mereka untuk membuat keputusan. Dalam masa yang sama, dasar percukaian perlu dilihat kembali. Pada tahun ini sahaja, beberapa cukai baharu diperkenalkan dan cukai sedia ada dinaikkan sehingga menurunkan kuasa beli rakyat dan seterusnya memberi impak kepada kitaran penjanaan pengganda ekonomi dan pulangan pelaburan.
Saya yakin dengan dasar percukaian hari ini ditambah dengan kelemahan ringgit akan terus meningkatkan kos sara hidup rakyat kerana kebergantungan tinggi negara kepada bahan mentah dan makanan yang diimport. Sesi persekolahan akan dibuka. Begitu juga, dengan sambutan Ramadhan dan perayaan Aidilfitri yang bakal menjelma, pastinya akan memberi impak berganda kepada rakyat. Harga barang dijangka akan melambung tinggi.
Hari ini satu perkara yang pelik berlaku, beras tempatan hilang dari pasaran. Sedangkan negara mengeluarkan sebanyak 62 peratus makanan ruji ini tidak sampai 30 peratus diimport.
Pastinya, ia melibatkan kartel yang mengawal pasaran beras tempatan.
Saya difahamkan banyak beras-beras tempatan hanya ditukar kampitnya kepada beras import.
[Tepuk] Mereka membuat keuntungan yang tinggi seperti ini. Kedua, beras tempatan dicampur dengan beras import dan dijual sebagai beras import. Jadi, kartel seperti ini mesti dihapuskan dengan segera. Seperti mana yang dilakukan...
[Tepuk] Seperti mana yang dilakukan oleh Kerajaan Keluarga Malaysia sewaktu mengekang...
[Tepuk] Sewaktu mengekang kartel ayam. Semasa mesyuarat NACCOL pada 31 Januari 2022, kerajaan ketika itu mengarahkan Suruhanjaya Persaingan Malaysia atau MyCC menjalankan siasatan terhadap kartel-kartel yang menguasai pasaran ayam.
Oleh itu, pada 22 Disember 2023 MyCC mengenakan denda sebanyak 415 juta terhadap lima syarikat kerana membentuk kartel makanan ayam untuk menetapkan harga.
Inilah golongan rakus yang mengambil keuntungan dengan menindas golongan yang memerlukan.
Bagi mengurangkan beban yang terpaksa ditanggung rakyat, saya mencadangkan kerajaan melakukan penilaian semula ke atas bantuan sedia ada bagi memastikan kestabilan hidup mereka lebih berkesan. Untuk mengelakkan kenaikan harga barang akibat sistem percukaian yang tidak cekap, saya bersetuju dengan pandangan beberapa rakan supaya GST dikembalikan semula. Biar atas apa nama sekalipun kerana ia terbukti bahawa sistem percukaian tersebut lebih telus...
[Tepuk] dan sekali gus dapat mengimbangi fiskal kerajaan melalui kutipan hasil.
Tuan Yang di-Pertua, negara sudah melalui beberapa krisis ekonomi yang mencabar seperti krisis kewangan 1998.
Tuan Chong Zhemin - Kampar
Bera boleh minta laluan sikit? Tanya sikit sahaja.
Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob - Bera
Siapa?
Tuan Chong Zhemin - Kampar
Semasa Bera jadi Perdana Menteri, mengapa tidak perkenalkan cukai GST? Kampar sini. Minta, kalau betul-betul hendak laksanakan, kenapa semasa Bera jadi Perdana Menteri tak laksana? Minta tanya.
Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob - Bera
Apa dia? Soalan dia?
Tuan Chong Zhemin - Kampar
Mengapa semasa Bera jadi Perdana Menteri, tidak laksanakan cukai GST pada masa itu?
Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob - Bera
Saya ingat YB tak baca statement dalam media.
[Tepuk] Kita dah, waktu itu kita membuat statement ataupun kenyataan bahawa Kabinet telah pun membincangkan soal isu GST dan sedang diperhalusi.
[Tepuk]
Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob - Bera
Negara sudah melalui beberapa siri krisis ekonomi yang mencabar seperti krisis kewangan Asia 1998, krisis kewangan global 2008 dan terbaharu pandemik COVID-19 pada tahun 2020. Saya berpendapat salah satu kaedah untuk menghadapi cabaran ekonomi ini ialah memberi tumpuan kepada sektor pelancongan. Ketika menghadapi krisis kewangan Asia, sektor pelancongan berkembang dengan pesat dengan pelbagai inisiatif. Kerajaan pada ketika itu memperkenalkan kempen Malaysia Truly Asia yang dilaksanakan secara agresif di luar negara pada tahun 1999. Kedatangan jumlah pelancong pada tahun 1999, meningkat kepada 7.9 juta berbanding 5.6 juta pada tahun 1998 dengan pertumbuhan sebanyak 42.9 peratus.
Pada tahun 2000, buat pertama kalinya ketibaan pelancong telah mencecah 10 juta dan meningkat kepada 22 juta pelancong pada tahun 2008. Semasa krisis kewangan global 2008, sumbangan sektor pelancongan terhadap KDNK terus menunjukkan trend meningkat yang menyumbang sebanyak 11.23 peratus kepada KDNK. Momentum ini berkekalan pada tahun-tahun berikutnya sehingga sebelum pandemik COVID-19 melanda. Pada hari ini, keadaan hampir sama, ringgit merudum biarpun belum berlaku krisis kewangan seperti tahun 1998.
Walaupun nilai ringgit menyusut sehingga memberi impak negatif kepada produk import termasuk makanan, namun pada masa yang sama ia menjadikan Malaysia sebagai negara destinasi yang murah untuk pelancong. Lebih murah lebih ramai pelancong akan datang ke Malaysia. Ia sekali gus memberi ruang untuk menjadikan negara kita sebagai destinasi pelancongan utama apatah lagi Malaysia mempunyai keunikan tersendiri, kepelbagaian etnik dan budaya, flora dan fauna serta sebuah bandar moden setaraf metropolis dunia.
Produk-produk, kita boleh menjadikan Malaysia sebagai syurga membeli-belah.
Semalam, saya berkesempatan berjumpa dengan rakan daripada Shanghai, China. Dia peminat golf. Dia beritahu saya, produk golf di sini 25 peratus harganya berbanding dengan produk golf di Shanghai. Maknanya, kalau harganya 100 dekat sini RM25 sahaja. Jadi, begitu besar bezanya dan begitu juga dengan produk-produk lain. Produk-produk berjenama yang lain terlalu murah dibandingkan dengan negara mereka. Bayangkan pelancong daripada United Kingdom, untuk hotel. Mereka hanya berbelanja 100 pound mendapat bilik RM600 harganya. Mungkin di hotel lima bintang dan sebagainya.
Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob - Bera
Selain itu, pihak yang berkenaan perlu kreatif untuk menarik pelancong asing dengan meletakkan negara di atas kalendar acara-acara utama di dunia. Kerajaan perlu lebih agresif mempromosikan produk pelancongan tempatan bukan sahaja di luar negara malah kepada rakyatnya sendiri. Kempen Cuti-Cuti Malaysia perlu disemarakkan kembali.
Saya juga mencadangkan pengusaha-pengusaha pelancongan tempatan diberikan insentif khas seperti potongan cukai bagi memangkin industri ini kerana kesannya amat besar kepada ekonomi setempat. Suka untuk saya nyatakan bahawa sektor pelancongan tidak boleh lagi menjadi sekadar penyelamat ketika krisis tetapi sektor ini perlu menjadi pemangkin peralihan kepada ekonomi berorientasikan perkhidmatan dan ini memerlukan kepada strategi khusus bagi pembaharuan dan kemapanan sektor ini.
Tuan Yang di-Pertua, saya banyak lagi tapi saya faham ramai rakan-rakan yang nak berbahas selepas ini. Kalau saya teruskan, mungkin mengganggu jadual ataupun peluang rakan-rakan untuk berucap atau berbahas.
Tuan Yang di-Pertua
[Bercakap tanpa menggunakan pembesar suara] Satu minit sahaja.
Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob - Bera
Satu sahaja. Satu sahaja, saya ingin mengemukakan soalan kepada Menteri yang berkaitan. Saya difahamkan sewaktu membuat rayuan pengampunan oleh Yang Amat Berbahagia Dato’ Seri Mohammad Najib Tun Haji Abdul Razak, selain daripada rayuan pengampunan, saya difahamkan ada lampiran untuk membuat rayuan supaya beliau ditukarkan dari segi tempat tahanan, daripada tahanan di Kajang ke tahanan di rumah. Jadi saya difahamkan perkara ini ada sebagai lampiran di dalam petisyen permohonan ataupun rayuan tersebut. Jadi soalan saya, apakah ini benar atau tidak?
Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob - Bera
Kalau ia nya benar, apakah ia dibincangkan sewaktu pembentangan rayuan pengampunan tersebut dan apakah keputusan?
Itu sahaja Tuan Yang di-Pertua. Akhirnya, saya nak menyebut bahawa Yang di- Pertuan Agong sudah memberi isyarat-isyarat yang jelas kepada kita semua agar terus bersatu hati membina kembali negara dengan rakyat sebagai keutamaan.
[Disampuk] Marilah kita sama-sama merapatkan saf untuk bersama-sama membina sebuah negara bangsa yang maju. Terima kasih, saya mohon menyokong.
[Tepuk]
Tuan Yang di-Pertua
Terima kasih Bera. Sekarang saya jemput Kota Bharu. Kota Bharu juga ada 15 minit. Terima kasih.
Datuk Seri Takiyuddin bin Hassan - Kota Bharu
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Terima kasih Tan Sri Yang di-Pertua kerana sempat juga saya berbahas di bawah pengendalian Yang Berhormat Tan Sri sendiri, sepatutnya Timbalan Speaker sahaja.
Namun demikian sebagai antara pembahas yang terakhir, macam kita dalam ceramahlah Yang Berhormat Tan Sri. Penceramah terakhir itu banyak poin yang telah diambil oleh penceramah yang awal-awal lagi. Namun demikian sebagai Ketua Whip kepada Perikatan Nasional, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada rakan-rakan saya, Ahli-ahli Parlimen Perikatan Nasional yang telah berhujah dengan begitu mantap dan begitu baik sepanjang dua minggu dan sukalah saya menarik perhatian rakyat di luar sana bahawa Perikatan Nasional dalam Pilihan Raya Umum ke-15 tahun 2022 yang baru-baru ini, kita telah disokong oleh sejumlah 4,666,529 orang.
[Tepuk] Itulah yang disebut undi popular yang diperoleh oleh Perikatan Nasional sebanyak 30.08. Tahniah kepada Yang Berhormat Pagoh yang memimpin Perikatan Nasional dalam PRU ke-15 [Tepuk] . Tan Sri Yang di-Pertua, saya terlebih dahulu secara khususnya bagi pihak rakyat saya di Parlimen Kota Bharu mengambil kesempatan merafak sembah, menjunjung kasih Kehadapan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim di atas Titah Diraja Baginda sempena Mesyuarat Pertama, Penggal Ketiga, Parlimen Kelima Belas pada 26 Februari yang lalu. Sesungguhnya kami Perikatan Nasional amat percaya setelah dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 31 Januari 2024 yang lalu, kepimpinan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim sebagai Ketua Utama Negara akan menjanjikan pemerintahan yang adil dan prihatin demi kesejahteraan 33 juta rakyat Malaysia dan kecemerlangan pencapaian negara dalam semua bidang dan sektor. Ini adalah berdasarkan kepada track record, dengan izin yang Duli Yang Maha Mulia Tuanku sendiri yang memerintah negeri Johor Darul Ta’zim dengan cemerlang sehingga Johor Darul Ta’zim ataupun dalam bidang bola sepaknya JDT Southern Tiger menjadi teraju ekonomi yang pesat dan berdaya maju dalam semua sektor khususnya dalam sektor ekonomi.
Sebagai tonggak pemerintahan Raja Berperlembagaan, saya berkeyakinan kepimpinan bijaksana dan berwawasan baginda juga akan memperkukuh perpaduan dan kerukunan hidup masyarakat besar Malaysia yang berbilang agama, kaum, budaya dan adat resam ke tahap yang lebih membanggakan.
Dalam pada itu, saya turut mengambil kesempatan untuk merafak sembah menjunjung kasih serta setinggi-tinggi penghargaan kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang dan Duli Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Pahang di atas khidmat, bakti cemerlang baginda berdua sebagai Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong ke-16, lima tahun yang lalu. Sesungguhnya seluruh rakyat Malaysia merasai dan malah menjadi saksi di atas kebijaksanaan, kemesraan dan suri tauladan yang amat berharga pemerintahan dan peribadi baginda berdua selama tempoh tersebut. Semoga Allah sentiasa mencucuri rahmat dan perlindungan serta melimpahi kehormatan serta kebesaran ke atas baginda berdua dan seluruh usrah Diraja Pahang sekalian.
Tan Sri Yang di-Pertua, sesungguhnya sedar ataupun tidak, tetapi saya pasti rakyat kita sedar kerajaan yang ada sekarang ini sudah pun menjadi kerajaan di dalam negara ini selama satu tahun empat bulan iaitu setelah ditubuhkan pada 24 November 2022 yang lalu.
Datuk Seri Takiyuddin bin Hassan - Kota Bharu
Kerajaan sekarang ini dipimpin oleh orang ataupun orang-orang yang telah mencanangkan sejak sekian lama. Dia boleh mengubah negara dalam tempoh 24 jam. Istilahnya, “hari ini” dan juga istilah kemudiannya “besok” menjadi ratib kepada seluruh rakyat dalam negara kita ini dengan slogan mereka, ‘Save Malaysia’. Namun kemudian, Tuan Yang di-Pertua – Tan Sri Yang di-Pertua, walaupun setelah 25 tahun mereka bereformasi memberikan pelbagai cadangan dan formula yang mempesonakan, namun kemudian sekarang ini kita melihat seolah-olahnya kebanyakan cadangan dan formula yang dulu tidak dapat diaplikasikan setelah mereka menjadi kerajaan di dalam negara kita ini ataupun ia hanya cakap tak serupa bikin. No action, talk only. Seorang Ahli Parlimen di sebelah kerajaan, saya meneliti satu interview yang telah diberikan oleh beliau kepada satu portal berita. Apabila ditanyakan apa sudah jadi selepas satu tahun kerajaan ini, beliau berkata berkerajaan ini macam kita buat rumah. Tahun pertama kita buat rumah belum lagi siap, kena tunggu tiga ataupun empat tahun. Ataupun lebih daripada itu barulah rumah kita itu sempurna dan boleh memberi manfaat kepada tuan rumah, keluarga dan juga orang lain.
Jadi maknanya, apakah ini bermakna, bagi pihak rakan-rakan kita di pihak backbenchers yang saya tidak berjumpa lebih daripada satu orang rakan-rakan backbenchers yang memberikan kritikan yang sepatutnya kepada kerajaan melainkan memuji, memuji dan terus memuji seolah-olah tidak ada masalah di dalam kerajaan yang memerintah kita pada hari ini. Tak apalah itu tugas mereka sebagai backbenchers...
Tuan Mohd Sany bin Hamzan - Hulu Langat
Kota Bharu, Kota Bharu, boleh sikit?
Datuk Seri Takiyuddin bin Hassan - Kota Bharu
Tetapi kami di pihak kerajaan, di pihak — nak jadi kerajaanlah tu, semacam Jelutong kata, dia pembangkang. Sebagai...
Tuan Mohd Sany bin Hamzan - Hulu Langat
Saya minta.
Datuk Seri Takiyuddin bin Hassan - Kota Bharu
...Anggota kerajaan, saya tak benar Hulu Langat ya.
Tuan Mohd Sany bin Hamzan - Hulu Langat
Itu saya nak dengar. Nak dengar itu je. Kalau tak benar, cakap tak benar. Itu je.
Datuk Seri Takiyuddin bin Hassan - Kota Bharu
Rugi masa den jo.
Tuan Mohd Sany bin Hamzan - Hulu Langat
[Ketawa]
Datuk Seri Takiyuddin bin Hassan - Kota Bharu
Okey, kita melihat bahawa rakyat sebenarnya pada masa ini tidak berminat lagi untuk mendengar teori itu dan ini dari pihak kerajaan kerana kerajaan sekarang ini bukan lagi menjadi pembangkang yang memberikan idea-idea yang ideal...
Tuan Sanisvara Nethaji Rayer a/l Rajaji - Jelutong
Dato’ Sri Speaker.
Datuk Seri Takiyuddin bin Hassan - Kota Bharu
Tetapi tidak dapat dilaksanakan.
Tuan Sanisvara Nethaji Rayer a/l Rajaji - Jelutong
Dato’ Sri Speaker.
Datuk Seri Takiyuddin bin Hassan - Kota Bharu
Apa yang mahu, yang dimahukan oleh rakyat ialah...
Tuan Sanisvara Nethaji Rayer a/l Rajaji - Jelutong
Dato’ Sri Speaker, Peraturan Dewan.
Datuk Seri Takiyuddin bin Hassan - Kota Bharu
Rakyat..
Tuan Sanisvara Nethaji Rayer a/l Rajaji - Jelutong
Peraturan Dewan.
Tuan Yang di-Pertua
Tunggu kejap.
Tuan Sanisvara Nethaji Rayer a/l Rajaji - Jelutong
Saya dengar Yang Berhormat..
Tuan Yang di-Pertua
Peraturan nombor berapa?
Tuan Sanisvara Nethaji Rayer a/l Rajaji - Jelutong
36(6). Saya dengar Yang Berhormat Kota Bharu kata Jelutong seperti pembangkang. Walhal saya mendukung Kerajaan Perpaduan. Jadi, jangan buat tuduhan Yang Berhormat Kota Bharu.
Datuk Seri Takiyuddin bin Hassan - Kota Bharu
Ada video baru ini kata saya sebagai pembangkang, itu yang saya sebutkan. Tersasul. Tersasul.
Tuan Sanisvara Nethaji Rayer a/l Rajaji - Jelutong
Tolong perbetulkan. Jelutong sentiasa menyokong Kerajaan Perpaduan. Akan menentang Perikatan Nasional habis- habisan.
Tuan Yang di-Pertua
Okey, okey. Teruskan.
Datuk Seri Takiyuddin bin Hassan - Kota Bharu
Tan Sri Yang di-Pertua— kacau betul Jelutong ini. Kalau dalam mahkamah, tak berani macam ini.
Tuan Sanisvara Nethaji Rayer a/l Rajaji - Jelutong
Pagoh, saya akan menentang habis-habisan.
Datuk Seri Takiyuddin bin Hassan - Kota Bharu
Yang Berhormat Tan Sri Yang di-Pertua, saya ulangi bahawa rakyat sebenarnya...
Tuan Sanisvara Nethaji Rayer a/l Rajaji - Jelutong
Dalam mahkamah pun saya berani menentang Kota Bharu.
Datuk Che Mohamad Zulkifly bin Jusoh - Besut
Ini sudah kurang ajar ini. Ambil tindakan, ambil tindakan.
Datuk Seri Takiyuddin bin Hassan - Kota Bharu
...Sekarang ini mahu melihat kerajaan melaksanakan tanggungjawabnya demi kesejahteraan seluruh rakyat sebagaimana Titah Tuanku Yang di-Pertuan Agong, keadaan hidup 33 juta rakyat di luar sana adalah satu yang perlu ditekankan oleh kerajaan sekarang ini.
Baru-baru ini kerajaan mengumumkan dan juga telah dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong, hasil daripada input daripada kerajaan. Jumlah pelaburan yang diluluskan untuk tahun 2023 berjumlah RM329.5 bilion. Persoalan daripada rakyat, adakah itu satu penanda aras ke arah prestasi ekonomi kita. Tegasnya rakyat ingin tahu, berapa sebenarnya aliran masuk pelaburan, daripada yang sebenarnya. Adakah ia telah menunjukkan satu perkara yang memberi manfaat sehingga kepada rakyat jelata dan seluruh negeri-negeri yang ada di dalam negara kita ini?
Tan Sri Yang di-Pertua, yang menjadi persoalan rakyat di luar sana ialah mereka kecewa dengan kegagalan kerajaan dalam mengurus isu-isu berkaitan, yang berkaitan langsung dengan kehidupan mereka seperti sekuriti ekonomi dan makanan, harga barangan dan perkhidmatan yang melambung tinggi, kesan kejatuhan mata wang yang amat-amat dirasai, penarikan subsidi dan kini ditambah pula dengan pengenaan pelbagai cukai yang mencekik dan mencengkam rakyat. Cukai atas cukai dan atas cukai dan berteorilah macam mana sekali pun, hakikatnya rakyat sedang menderita sekarang ni.
Apa yang mereka mahu ialah seperti mana yang dibuat oleh Kerajaan Perikatan Nasional dan juga yang di bawah kepimpinan Pagoh dan Bera sebelum ini. Yang penting kepada kita ialah pastikan food on the table ataupun makanan di atas meja rakyat jelata.
Bukan hanya berteori semata-mata.
[Tepuk] Oleh sebab itu Tan Sri Yang di-Pertua, Perikatan Nasional juga menyahut sepenuhnya seruan titah tuanku bahawa semua kita di dalam Dewan ini perlu memainkan peranan dan tugas membangunkan negara dan memberikan kesejahteraan kepada rakyat sebagai tanggungjawab bersama. Memang, kita mengakui ini juga tanggungjawab kita Perikatan Nasional. Namun demikian, satu syarat utama yang kita harap daripada pihak kerajaan, berlaku adillah kepada semua pihak, termasuk kepada pembangkang, termasuk kepada negeri-negeri pembangkang, termasuk kepada rakyat-rakyat yang tidak mengundi pihak kerajaan dalam pilihan raya yang lalu.
[Tepuk] Saya ingin memetik peruntukan dalam Perlembagaan, fasal 8. Yang bertajuk “Kesamarataan” ataupun “Equality”. Apabila rakyat di dalam negara kita ini diberikan hak perundangan atau Perlembagaan untuk memilih wakil rakyat mereka, maka menjadi hak juga kepada wakil rakyat untuk mendapat peruntukan yang sama rata, sama ada mereka ini
Datuk Seri Takiyuddin bin Hassan - Kota Bharu
pembangkang ataupun mereka ini pihak kerajaan. Ini adalah hak saksama di sisi undang- undang kerana punca kewangan yang digunakan oleh kerajaan disumbang oleh seluruh rakyat, bukan sesetengah rakyat sahaja.
[Tepuk] Tan Sri Yang di-Pertua, point saya yang kedua ialah berhubung dengan isu perpaduan, yang turut disentuh oleh Yang Berhormat Bera sekejap nanti, yang meliputi hubungan kaum, keharmonian sosial, perpaduan masyarakat, bahasa, budaya, agama yang menjadi perhatian penting di dalam Titah Diraja baru-baru ini.
Saya petik, “Saya perhatikan setelah 60 tahun Malaysia dibentuk, hubungan perpaduan antara kaum masih belum sempurna kerana masih ada generasi hari ini yang gagal menguasai bahasa kebangsaan dan memahami budaya hidup kaum yang lain. Oleh itu, saya menyeru kepada kerajaan untuk merangka satu dasar ke arah perpaduan rakyat yang lebih kukuh dan harmoni”. Itu titah tuanku.
Persis daripada titah baginda di atas, nampaknya seolah-olah kegusaran tuanku bahawa isu perpaduan dan keharmonian kaum ini masih lagi belum sempurna, walaupun negara kita telah merdeka lebih daripada 60 tahun.
Datuk Ahmad Amzad bin Mohamed @ Hashim - Kuala Terengganu
Kota Bharu.
Sedikit ruang. Ringkas sahaja.
Datuk Seri Takiyuddin bin Hassan - Kota Bharu
Satu minit sahaja.
Datuk Ahmad Amzad bin Mohamed @ Hashim - Kuala Terengganu
Okey.
Sebagaimana yang dikatakan tadi, banyak teori yang dikatakan oleh kerajaan tak tercapai, tak dilaksanakan. Okey. Dalam keadaan kerajaan dikatakan galau, rasuah, kleptokrat, rakyat selesa, rakyat bahagia, rakyat sejahtera. Sekarang dikatakan zaman anti-rasuah, zaman integriti, zaman tiada ketirisan tapi rakyat menderita. Hidup susah, makanan semakin meningkat, beras tidak ada. Boleh tak? Setuju tak saya katakan pada...
Datuk Seri Takiyuddin bin Hassan - Kota Bharu
Amat setuju dan masukkan
dalam ucapan saya. Terima kasih Hulu Terengganu. Datuk Ahmad Amzad bin Mohamed @ Hashim - Kuala Terengganu
...Bahawa kerajaan hari ini “janji tak serupa bikin” ataupun kerajaan scammer.
Tuan Yang di-Pertua
Hulu Terengganu, masa berjalan.
Datuk Ahmad Amzad bin Mohamed @ Hashim - Kuala Terengganu
Terima kasih.
Datuk Seri Takiyuddin bin Hassan - Kota Bharu
Masuk semua. Masuk. Terima kasih. Tan Sri Yang di-Pertua, tadi Yang Berhormat Bera, bekas bos saya telah menyatakan isu yang sama. Memberikan beberapa contoh yang menunjukkan bahawa banyak perkara yang boleh menjejaskan keharmonian perpaduan di dalam negara kita ini.
Saya bukanlah berhasrat untuk menuding jari atau mencari salah atau mengambinghitamkan mana-mana pihak sebagai punca dan penyumbang kepada keadaan yang malang ini tetapi sekadar beberapa contoh. Sebagai contohnya, satu isu yang berbangkit berkaitan dengan Perdana Menteri bukan Melayu yang dibangkitkan pada 29 November di Manchester United, Kingdom oleh seorang pemimpin politik negara yang partinya kini berada di dalam kerajaan.
Satu petikan berita telah pun semua kita tahu tetapi yang ingin saya menarik perhatian setelah berita itu dikeluarkan, dibuat oleh pemimpin berkenaan. Apabila berlaku banyak bantahan dan sebagainya, pada 13 Disember 2023, pemimpin yang sama atas tajuknya, “Kit Siang pertahan kenyataan bukan Melayu boleh jadi Perdana Menteri” disiarkan dalam MalaysiaGazette, mengatakan bahawa beliau mempertahankan. Beliau menyebut “Tiada sekatan dalam Perlembagaan untuk bukan Melayu menjadi Perdana Menteri”.
Tan Sri Yang di-Pertua, ini adalah satu perkara yang sudah selesai. Memang di dalam Perlembagaan, tidak ada peruntukan bahawa mana-mana golongan tertentu sahaja boleh menjadi Perdana Menteri. Itu semua kita faham. Tapi kenapa dibangkitkan perkara yang boleh menimbulkan suasana yang mengelirukan?
[Tepuk] Lebih-lebih lagi pemimpin yang sama ini tiga hari selepas kenyataan yang pertama tadi 13 Disember, pada 16 Disember
Datuk Seri Takiyuddin bin Hassan - Kota Bharu
mengatakan tajuknya, “Kit Siang akui mustahil bukan Melayu jadi Perdana Menteri”. Apa tujuan dibangkitkan perkara yang menimbulkan...
Puan Teresa Kok Suh Sim - Seputeh
Kota Bharu.
Datuk Seri Takiyuddin bin Hassan - Kota Bharu
...Satu sensitif di dalam masyarakat. Sebaliknya, beliau mengetahui dengan jelas...
Tuan Sanisvara Nethaji Rayer a/l Rajaji - Jelutong
Timbalan Speaker. Peraturan Dewan Timbalan Speaker. Peraturan Dewan.
Puan Teresa Kok Suh Sim - Seputeh
Kota Bharu.
Datuk Seri Takiyuddin bin Hassan - Kota Bharu
Apa yang...
Tuan Yang di-Pertua
Peraturan berapa itu?
Tuan Sanisvara Nethaji Rayer a/l Rajaji - Jelutong
Peraturan 36(12). Peraturan 36 (12). “Mana-mana ahli yang mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan Dewan...”.
Sejarah menunjukkan bahawa— Kota Bharu, duduk dahulu. Biar saya habiskan.
Tuan Yang di-Pertua
Carry on, carry on, carry on. Time, time. Masa, masa.
Tuan Sanisvara Nethaji Rayer a/l Rajaji - Jelutong
Sejarah menunjukkan bahawa pada tarikh 3 Ogos 1973, mendiang V.T. Sambanthan telah menjadi Perdana Menteri untuk satu hari.
Tuan Sanisvara Nethaji Rayer a/l Rajaji - Jelutong
Ini adalah sejarah. Jadi, apa yang dikatakan oleh Yang Berhormat Lim Kit Siang adalah sesuatu yang telah berlaku dalam sejarah. Jadi, saya minta Yang Berhormat Kota Bharu supaya tidak mengelirukan Dewan, dengan mengeluarkan kenyataan-kenyataan atau perbahasan yang tak begitu betul dalam sejarah. Sejarah membuktikan. Tun V.T.
Sambanthan telah menjadi...
Datuk Seri Takiyuddin bin Hassan - Kota Bharu
Jelutong boleh buat kenyataan di luarlah.
Tuan Sanisvara Nethaji Rayer a/l Rajaji - Jelutong
...Perdana Menteri untuk satu hari pada 3 hari bulan...
Datuk Seri Takiyuddin bin Hassan - Kota Bharu
Jelutong boleh buat kenyataan di luarlah selepas daripada ini.
Tuan Sanisvara Nethaji Rayer a/l Rajaji - Jelutong
...Ogos 1973.
Datuk Seri Takiyuddin bin Hassan - Kota Bharu
Tan Sri Yang di-Pertua...
Tuan Sanisvara Nethaji Rayer a/l Rajaji - Jelutong
So, tolonglah jangan buat kenyataan-kenyataan yang tidak benar.
Datuk Seri Takiyuddin bin Hassan - Kota Bharu
Isu yang kedua yang ingin saya bangkitkan...
Tuan Sanisvara Nethaji Rayer a/l Rajaji - Jelutong
Kota Bharu.
Datuk Seri Takiyuddin bin Hassan - Kota Bharu
...Begitulah juga isu pilihan raya pihak...
Datuk Awang bin Hashim - Pendang
Jelutong yang kelirukan.
Datuk Seri Takiyuddin bin Hassan - Kota Bharu
...kerajaan tempatan.
Tuan Yang di-Pertua
Sebentar.
Datuk Seri Takiyuddin bin Hassan - Kota Bharu
...Dibangkitkan, ya.
Tuan Yang di-Pertua
Ya. Landing please. Tolong landing dah, masa dah tamat.
Datuk Seri Takiyuddin bin Hassan - Kota Bharu
Ya, ya. Saya minta lebih kurang tiga minit ,boleh?
Tuan Yang di-Pertua
No, tak dapat.
Tuan Sanisvara Nethaji Rayer a/l Rajaji - Jelutong
Ruling Tan Sri Speaker.
Datuk Seri Takiyuddin bin Hassan - Kota Bharu
Okey, isu yang kedua ialah isu pilihan raya — banyak gangguan. Ni makhluk perosak.
Tuan Sanisvara Nethaji Rayer a/l Rajaji - Jelutong
You are a lawyer, you must know your facts. Sebagai seorang peguam, kena tahu fakta.
Dato’ Seri Dr. Shahidan bin Kassim - Arau
Gantung dia, gantung dia.
Tuan Yang di-Pertua
Okey.
Datuk Seri Takiyuddin bin Hassan - Kota Bharu
Jangan koyak. Isu pilihan raya kerajaan tempatan, begitu juga satu laporan...
Tuan Yang di-Pertua
Kota Baharu , saya nak bagi seminit setengah lagi.
Datuk Seri Takiyuddin bin Hassan - Kota Bharu
Okey, okey. Terima kasih Tan Sri. Dalam satu laporan Berita Harian, 17.12.2023 bertajuk, “DAP gesa kerajaan laksana semula pilihan raya PBT di Kuala Lumpur”, dikeluarkan oleh seorang Ahli Parlimen yang ada di dalam Dewan ini.
Tan Sri Yang di-Pertua, Akta Kerajaan Tempatan 1976, seksyen 15. Dengar ya Jelutong, ini undang-undang eh. Peruntukan berhubung dengan pilihan raya kerajaan tempatan terhenti mempunyai kesan. Subseksyen (1), walau apa pun yang berlawanan, yang terkandung dalam mana-mana undang-undang bertulis, semua peruntukan berhubung dengan pilihan raya kerajaan tempatan, hendaklah terhenti berkuat kuasa dan mempunyai kesan. Saya terus, saya nak tanya kepada pihak kerajaan. Mohon kerajaan bagi satu jawapan yang jelas. Apakah dasar kerajaan mengenai cadangan pilihan raya kerajaan tempatan ini?
Adakah ia masih menjadi agenda kerajaan sekarang ini?
Isu yang ketiga, yang juga saya perlu sebutkan ialah pandangan daripada seorang pemimpin daripada parti dalam kerajaan juga, yang juga Ahli Parlimen dalam Dewan ini, yang mencadangkan supaya kerajaan melantik pakar bukan Islam untuk menduduki jawatankuasa kaji kompetensi Dewan Undangan Negeri untuk membuat Enakmen Syariah. Persoalan saya, apa perlunya perkara-perkara yang seumpama ini yang memang diketahui keadaan dan kedudukannya...
Tuan Chong Zhemin - Kampar
Peraturan Mesyuarat 36(12), Tan Sri Speaker.
Datuk Seri Takiyuddin bin Hassan - Kota Bharu
...Di mana pemimpin yang sama...
Tuan Chong Zhemin - Kampar
Tan Sri Speaker.
Datuk Seri Takiyuddin bin Hassan - Kota Bharu
...Akhirnya...
Tuan Chong Zhemin - Kampar
...36(12)...
Datuk Seri Takiyuddin bin Hassan - Kota Bharu
...Telah menarik balik...
Tuan Chong Zhemin - Kampar
...Mana-mana Ahli yang mengeluarkan kenyataan...
Datuk Seri Takiyuddin bin Hassan - Kota Bharu
...Telah menarik balik kenyataan tersebut...
Tuan Chong Zhemin - Kampar
...Yang mengelirukan...
Datuk Seri Takiyuddin bin Hassan - Kota Bharu
...Kerana beliau mengetahui bahawa...
Tuan Chong Zhemin - Kampar
[Tidak jelas]
Datuk Seri Takiyuddin bin Hassan - Kota Bharu
...Itu adalah sesuatu yang tidak wajar.
Tuan Chong Zhemin - Kampar
Please, Tan Sri Speaker. Peraturan.
Tuan Yang di-Pertua
Okey.
Datuk Seri Takiyuddin bin Hassan - Kota Bharu
Tan Sri Yang di-Pertua...
Tuan Chong Zhemin - Kampar
Saya nak maklumkan kepada Dewan ini...
Tuan Yang di-Pertua
Baik. Semua diam.
Tuan Chong Zhemin - Kampar
Peraturan.
Tuan Yang di-Pertua
Kampar, baca apa dia. Saya tak dengar tadi.
Tuan Chong Zhemin - Kampar
36(12).
Tuan Yang di-Pertua
Berapa?
Tuan Chong Zhemin - Kampar
Mana-mana 36(12).
Tuan Yang di-Pertua
Okey.
Tuan Chong Zhemin - Kampar
Mana-mana ahli yang mengeluarkan kenyataan mengelirukan Dewan adalah disifatkan menghina Majlis dan ahli itu boleh...
Tuan Yang di-Pertua
Apa yang, apa yang...
Tuan Chong Zhemin - Kampar
Cadangan yang tadi dikatakan dibawa oleh Ahli Dewan ini, Beruas telah ditarik balik kenyataan tu. Jadi, tak ada cadangan.
Datuk Seri Takiyuddin bin Hassan - Kota Bharu
Itulah saya sebut.
Tuan Chong Zhemin - Kampar
Jadi, jangan bangkit lagi. Cadangan telah ditarik balik. Kenyataan telah dibuat.
Datuk Seri Takiyuddin bin Hassan - Kota Bharu
Dah tahu nak tarik balik, kenapa disebut dulu?
Tuan Chong Zhemin - Kampar
Cadangan telah ditarik balik, sudah selesai.
Kenapa nak bangkit, main isu lagi? Cukup.
Tuan Haji Mohd Misbahul Munir bin Masduki - Parit Buntar
Duduklah Kampar.
Kampar, duduk. Kacau saja Kampar.
Datuk Seri Takiyuddin bin Hassan - Kota Bharu
Kampar yang keliru.
Tuan Chong Zhemin - Kampar
Cadangan sudah ditarik balik.
Datuk Seri Takiyuddin bin Hassan - Kota Bharu
You sit down. You sit down-lah.
Tuan Chong Zhemin - Kampar
Cadangan sudah ditarik balik.
Tuan Yang di-Pertua
Saya nak buat ruling. Kota Bharu...
[Tidak jelas] Beruas telah pun tarik balik statement tu.
Datuk Seri Takiyuddin bin Hassan - Kota Bharu
Ya, saya pun sebut. Apa perlunya membuat satu statement yang kita tahu akhirnya kita nak tarik balik? Itulah yang mengelirukan.
Tuan Yang di-Pertua
Okey.
Datuk Seri Takiyuddin bin Hassan - Kota Bharu
Itu maksud saya.
Tuan Yang di-Pertua
Okey, baik.
Datuk Seri Takiyuddin bin Hassan - Kota Bharu
Tarik balik.
Tuan Yang di-Pertua
Baik. Landing sekarang, landing sekarang. Dah habis dah saya bagi masa tadi.
Datuk Seri Takiyuddin bin Hassan - Kota Bharu
Tan Sri Yang di-Pertua, saya pun sebagaimana Bera lah, banyak lagi perkara-perkara yang saya nak sebut tapi tak apalah demi menghormati Yang Berhormat Tan Sri Yang di-Pertua, saya membuat penggulungan bahawa kami Perikatan Nasional sentiasa memberikan sepenuh taat setia dan juga mengikut titah nasihat daripada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan saya dengan ini menyokong...
Tuan Yang di-Pertua
Baik, terima kasih.
Datuk Seri Takiyuddin bin Hassan - Kota Bharu
...Titah. Terima kasih.
Dato’ Seri Dr. Shahidan bin Kassim - Arau
Yang Berhormat, saya pohon Yang Berhormat minta pohonlah supaya 37(2) ni dipakai, sebab mereka cuba mengganggu dan menghabiskan masa orang yang berucap. Jadi, saya minta Yang Berhormat, 32(2) ini diperkenalkan. Yang kedua, saya baru lepas 18(1) yang saya boleh bawa pada bila-bila masa, Yang Berhormat.
Tuan Yang di-Pertua
Baik.
Dato’ Seri Dr. Shahidan bin Kassim - Arau
18(1) ialah Usul di Bawah Peraturan Mesyuarat 18(1) dan (2), Penggubalan Akta Peruntukan Parlimen. Yang Berhormat, jawapan yang saya terima daripada Speaker ialah benda ni telah dijawab. Mereka jawab tentang peruntukan, saya minta akta supaya akta peruntukan Ahli Parlimen tu diadakan. Dengan itu siapa saja jadi pemerintah, tubuh kerajaan, akta ini mesti dipatuhi, di mana Ahli Parlimen mesti mendapat peruntukan.
Tuan Yang di-Pertua
Okey.
Dato’ Seri Dr. Shahidan bin Kassim - Arau
Ini saya cadangkan akta, Yang Berhormat. Terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua
Baik, saya jemput...
Tuan Sanisvara Nethaji Rayer a/l Rajaji - Jelutong
Tan Sri Speaker.
Tuan Yang di-Pertua
Ya.
Tuan Sanisvara Nethaji Rayer a/l Rajaji - Jelutong
Selamat pagi Tan Sri Speaker.
Tan Sri Speaker, berkenaan dengan perkara yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Kota Bharu tadi tentang isu seorang bukan Melayu menjadi Perdana Menteri. Saya telah membangkitkan peraturan Dewan bahawa kenyataan beliau mengelirukan Dewan. Saya telah menyatakan bahawa sejarah menunjukkan 1986, Tan Sri Ling Liong Sik, Presiden MCA telah menjadi Perdana Menteri untuk satu hari dan Tun V.T. Sambanthan, mendiang V.T.
Sambanthan...
Tuan Muhammad Fawwaz bin Mohamad Jan - Permatang Pauh
Perdana Menteri sementara.
Tuan Sanisvara Nethaji Rayer a/l Rajaji - Jelutong
...Telah menjadi Perdana Menteri untuk satu hari...
Tuan Haji Mohd Syahir bin Che Sulaiman - Bachok
Itu pemangku.
Tuan Sanisvara Nethaji Rayer a/l Rajaji - Jelutong
...Pada tahun 1973.
Tuan Muhammad Fawwaz bin Mohamad Jan - Permatang Pauh
Perdana Menteri sementara saja.
Datuk Seri Takiyuddin bin Hassan - Kota Bharu
Peraturan Dewan.
Tuan Muhammad Fawwaz bin Mohamad Jan - Permatang Pauh
Perdana Menteri sementara.
Datuk Seri Takiyuddin bin Hassan - Kota Bharu
Peraturan Dewan.
Dato’ Seri Dr. Shahidan bin Kassim - Arau
Dia bercakap bawah peraturan berapa?
Tuan Yang di-Pertua
Listen, listen.
Datuk Seri Takiyuddin bin Hassan - Kota Bharu
Peguam kena accurate-lah.
Tuan Yang di-Pertua
Tadi baru saja Arau...
Datuk Seri Takiyuddin bin Hassan - Kota Bharu
[Tidak jelas]
Tuan Yang di-Pertua
Baik, baik.
Dato’ Seri Dr. Shahidan bin Kassim - Arau
Dia berucap...
Tuan Yang di-Pertua
Nanti, bagi fair.
Dato’ Seri Dr. Shahidan bin Kassim - Arau
Okey, okey, okey.
Tuan Yang di-Pertua
Saya yang preside. Di sini ialah saya.
Dato’ Seri Dr. Shahidan bin Kassim - Arau
Ya.
Tuan Yang di-Pertua
Saya buat keputusan.
Dato’ Seri Dr. Shahidan bin Kassim - Arau
Ya, tabik, tabik, tabik.
Tuan Yang di-Pertua
Duduk dulu, saya bagi peluang sekarang. Sekarang peluang, lepas tu saya nak buat keputusan.
Tuan Sanisvara Nethaji Rayer a/l Rajaji - Jelutong
Ya. Jadi, adakah kenyataan itu dibiarkan kerana Yang Berhormat Kota Bharu cuba mengelirukan Dewan yang mulia ini dengan membuat tuduhan terhadap Tan Sri Lim Kit Siang?
Tuan Yang di-Pertua
Baik.
Tuan Sanisvara Nethaji Rayer a/l Rajaji - Jelutong
Kenyataan yang dibuat oleh Tan Sri Lim Kit Siang itu adalah satu fakta yang dibuktikan benar dalam sejarah.
Tuan Yang di-Pertua
Baik, itu saya ingat— sila duduk dulu. Apa yang diucapkan oleh Kota Bharu itu adalah dalam bentuk soalan-soalan yang saya anggap bukan mengelirukan Dewan. Dia bertanya. Namun pun begitu,...
Seorang Ahli
Tan Sri Yang di-Pertua...
Tuan Yang di-Pertua
Namun pun begitu, saya anggap ini bukan game. Ini bukan scoring point. Ini ialah satu fakta yang saya jelaskan. Saya dengar daripada Jelutong tadi, saya juga dengar dari Kota Bharu. Jadi, fahaman saya ialah apa yang disebutkan ialah satu soalan. Untuk itu bukan mengelirukan Dewan. Saya teruskan sekarang...
Datuk Seri Takiyuddin bin Hassan - Kota Bharu
Yang Berhormat Tan Sri...
Tuan Yang di-Pertua
...Dengan Kota Marudu.
Datuk Seri Takiyuddin bin Hassan - Kota Bharu
Tak fair-lah, saya tak jawab.
Tuan Yang di-Pertua
Tak payah jawab dah.
Datuk Seri Takiyuddin bin Hassan - Kota Bharu
Nak membetulkan fakta menunjukkan Tun Sambanthan dan juga Ling Liong Sik adalah pemangku Perdana Menteri, bukannya Perdana Menteri.
Tuan Yang di-Pertua
Baik, baik. No, saya ingat tidak ada debate di sini. Tidak ada debate...
Tuan Sanisvara Nethaji Rayer a/l Rajaji - Jelutong
Pemangku itu adalah Perdana Menteri lah pada masa itu.
Tuan Yang di-Pertua
Baik, saya buat keputusan...
Tuan Muhammad Fawwaz bin Mohamad Jan - Permatang Pauh
Baca Portal The Portrait lah.
Tuan Yang di-Pertua
Baik. Saya dah jemput Kota Marudu.
Tuan Sanisvara Nethaji Rayer a/l Rajaji - Jelutong
Jalankan tugas Perdana Menteri.
[Dewan riuh]
Tuan Yang di-Pertua
Silakan.
Datuk Wetrom bin Bahanda - Kota Marudu
Macam mana berucap, masih lagi ni.
Tuan Yang di-Pertua
Okey Kota Marudu, silakan. Silakan. Kota Marudu, silakan.
Datuk Wetrom bin Bahanda - Kota Marudu
Terima kasih Tan Sri Yang di-Pertua.
Bismillahi Rahmani Rahim, assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih Tan
Datuk Wetrom bin Bahanda - Kota Marudu
Sri Yang di-Pertua kerana telah memberikan saya ruang untuk turut bersama dalam membahaskan titah diraja pada hari ini.
Pertamanya dengan penuh hormat, patik merafak sembah dan menjunjung kasih ke atas pertabalan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar sebagai Yang di-Pertuan Agong yang ke-XVII. Patik juga ingin menjunjung kasih dan ucapkan setinggi-tinggi penghargaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang, Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang telah memayungi negara sebagai Yang di-Pertuan Agong yang ke-XVI.
Tan Sri Yang di-Pertua, dalam Titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Baginda menyebut soal membangunkan negara dan soal kesejahteraan rakyat. Sebagai wakil rakyat yang telah dipilih oleh rakyat untuk bersuara di Dewan yang mulia ini, adalah tanggungjawab saya dan semua wakil yang telah dipilih untuk memperjuangkan masalah rakyat, sesuai dengan Titah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Malangnya, kita semua tahu bahawa pembangunan di negara kita tidak seimbang.
Ada kawasan yang tertinggal jauh, keadaan mereka masih seperti sebelum merdeka.
Tan Sri Yang di-Pertua, dalam ucapan saya sebelum ini, saya telah menyatakan di Parlimen. Di Parlimen Kota Marudu, terdapat kampung yang masih lagi tidak mempunyai segala kemudahan seperti bekalan air, bekalan elektrik malah jalan yang ada pun hasil peninggalan syarikat yang telah mengambil kayu balak di kawasan tersebut. Jalan-jalan ini pula amat mustahil untuk dilalui oleh kenderaan biasa kerana tidak mempunyai penyelenggaraan yang kerap. Bagi penduduk Kampung Sonsogon Mogis, kehidupan mereka tidak ubah seperti ketika perang Jepun, Tan Sri Yang di-Pertua.
Datuk Wetrom bin Bahanda - Kota Marudu
Mereka hanya makan ubi kayu dan juga ubi manis tanpa merasakan makan nasi dalam kehidupan mereka. Anak-anak tak ke sekolah. Kalau sakit pun tidak akan dirawat dengan segera kerana klinik yang ada amat jauh dari kampung mereka.
Tan Sri Yang di-Pertua, saya ingin bertanya dalam Dewan yang mulia ini. Apakah tindakan kita bagi rakyat yang terpinggir sekian lama? Adakah kita biarkan begitu sahaja?
Kita sudah merdeka lebih 60 tahun. Kemudahan di setiap Parlimen terutamanya di Semenanjung Malaysia. boleh dikatakan ke kebun pun telah dinaik taraf ke tar ataupun jalan konkrit.
Tetapi amat malang di Parlimen saya, masih banyak jalan-jalan kampung yang sukar dan langsung tidak boleh dilalui oleh kenderaan. Jurang pembangunan yang begitu besar antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak perlu difikirkan dan diambil tindakan yang segera sesuai dengan Titah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong agar tidak ada rakyat yang terpinggir.
Tan Sri Yang di-Pertua, saya ucapkan terima kasih kepada Kerajaan MADANI atas usaha di bawah pentadbiran Yang Berhormat Tambun. Banyak perkara yang telah diambil tindakan seperti meneruskan projek Pan-Borneo di Sabah, melaksanakan projek menaiktaraf jalan daripada Tandek sampai ke Magandai di kawasan saya, yang sepatutnya telah siap sewaktu pentadbiran kerajaan-kerajaan sebelum ini.
Tan Sri Yang di-Pertua, baru-baru ini rombongan pegawai dari Kementerian Komunikasi bersama dengan SabahNet telah melawat SK Magandai. Saya telah mendapat laporan dari team pacuan empat roda Kota Marudu. Ada ahli rombongan yang sampai menangis, bila mana kenderaan pacuan empat roda yang mereka naiki terbalik kerana keadaan jalan yang sukar dilalui dan tidak selamat.
Terima kasih dan tahniah kepada pegawai yang tersebut telah merasakan sendiri kesengsaraan rakyat di kawasan Kota Marudu. Ini yang kita mahu, pegawai-pegawai dari semua kementerian turun ke Parlimen saya dan juga kawasan-kawasan Parlimen yang memerlukan. Lihat sendiri kesengsaraan rakyat dan seterusnya laporkan, buat tindakan untuk majukan kawasan tersebut.
Tan Sri Yang di-Pertua, saya mohon Dewan yang mulia ini, supaya semua pegawai kerajaan, malah Yang Berhormat Menteri-menteri, Yang Berhormat Timbalan-timbalan
Datuk Wetrom bin Bahanda - Kota Marudu
Menteri, turunlah ke Parlimen yang berkenaan, termasuk kawasan saya. Tengok sendiri masalah yang kita selalu sebutkan di Dewan yang mulia ini.
Rakyat yang marah dengan kita kerana membaik pulih jambatan gantung yang merupakan laluan anak ke sekolah pun gagal kita laksanakan. Banyak keperluan rakyat yang kita telah hantar permohonan, sejak daripada tahun yang lalu kepada kementerian yang berkaitan seperti Kementerian Ekonomi, KKDW, Kementerian Perladangan dan Komoditi, Kementerian Pertanian, KKTP dan ICU. Tetapi sehingga ke hari ini, kita tidak mendapat berita, apa lagi kelulusan.
Permohonan daripada Ahli Parlimen itu, kita telah lawat dan bagi rakyat di kawasan, bila kita lawat, mereka anggap masalah mereka sudah selesai. Ini yang membuatkan kita serba salah. Kita pula menunggu jawapan daripada pihak menteri ataupun pihak kementerian.
Tan Sri Yang di-Pertua, bagaimana kita nak laksanakan keperluan rakyat yang banyak? Dengan peruntukan yang amat terhad, bilangan kampung untuk Parlimen Kota Marudu sahaja lebih daripada 400 kampung. Keluasan Parlimen saya dua kali ganda, lebih keluasan negeri Perlis yang mana negeri Perlis mempunyai tiga Parlimen dan 15 DUN.
Dalam masa lima tahun ataupun satu penggal, malah mungkin 30 tahun yang ke depan, amat mustahil untuk mewujudkan infrastruktur yang sempurna tanpa formula baru daripada Kerajaan MADANI serta campur tangan semua pihak kementerian yang terlibat.
Tan Sri Yang di-Pertua, saya mohon pada Yang Amat Berhormat Tambun selaku Perdana Menteri dan juga Menteri Kewangan, bagi keseimbangan pembangunan dalam negara. Kawasan-kawasan Parlimen yang termiskin perlu diberikan perhatian dan tindakan khusus agar masalah infrastruktur dan ekonomi rakyat yang selari dapat kita atasi atau sekurang-kurangnya jurang perbezaan kemajuan ini dapat kita kecilkan.
Langkah perlu dimulakan sekarang ini dengan formula yang baru agar kegagalan kerajaan-kerajaan sebelum ini untuk memajukan kawasan-kawasan yang termiskin dapat dilaksanakan, bermula dengan menyediakan infrastruktur yang sempurna sebagai asas yang berhubung kait dengan ekonomi rakyat dalam usaha Kerajaan MADANI untuk menoktahkan kemiskinan.
Tan Sri Yang di-Pertua, saya mendapat maklumat makluman daripada KKDW, dalam tahun ini telah diluluskan satu peruntukan menaikkan taraf Jalan Torintidon, Kota Marudu.
Terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Bagan Datuk, selaku Menteri KKDW.
Dalam masa yang sama, saya mohon agar jalan-jalan utama yang lain dapat diberikan perhatian. Untuk tindakan yang serentak memang amat mustahil, tetapi saya merayu kepada pihak KKDW agar dapat meluluskan sekurang-kurangnya satu atau pun dua batang jalan utama setiap tahun untuk dinaiktaraf.
Sekali lagi saya ingin menyebut supaya direkodkan dalam Dewan yang mulia ini.
Antara jalan yang perlu dinaiktaraf iaitu Jalan Garib-Sebayan, Lotong–Kong Batu, Jalan Tagibang, Jalan Indarason Laut ke Muhang. Saya pun ingin sebut dalam Dewan yang mulia ini, Jalan Muhang ini Tan Sri Speaker telah pun mengorbankan sekurang-kurangnya tiga nyawa kerana keadaan jalan yang amat berbahaya.
Keempat, Jalan Guomon Timbangan, Jalan Pinawantai Narandang, Jalan Koronomoko, Jalan Kerangawan, Jalan Sikuati Rampai Bonsiku, Jalan Sorinsim Bambangan Tungab dan Jalan Sonsogon Suyad ke Sonsogon Mogis.
Tan Sri Yang di-Pertua, tidak boleh dinafikan bahawa pendidikan adalah asas penting dalam kita mengangkat martabat ataupun mengubah status rakyat kita. Di Kota Marudu, banyak lagi sekolah yang masih bangunan kayu dalam keadaan bangunan yang uzur dan perlu dinaik taraf.
Daripada 32 buah sekolah rendah, dua bangunan yang perlu dibina semula dengan kadar yang segera iaitu SK Sunsui dan juga SK Bengkongan. Sepuluh sekolah yang masih bangunan kayu pula yang lain SK Langkon, SK Marak Parak, SK Sampir, SK Singkiaman, SK Tagibang, SK Panaitan, SK Mangin, SK Koromoko, SK Gana atau SK Magandai perlu juga diberikan perhatian kerana juga mendapat pertarafan yang tidak selamat.
Datuk Wetrom bin Bahanda - Kota Marudu
Di kawasan Matunggong pula, yang di bawah pentadbiran PPD Kudat antara sekolah yang perlu diberikan perhatian adalah SK Indarason Laut, Pinawantai, Sebayan, SK Dualog, Lotong, SK Panudahan serta SK Bingolon yang juga telah mendapatkan pengiktirafan daripada JKR bangunan yang tidak selamat.
Selain daripada itu, kemudahan guru pula terdapat 20 buah sekolah di kawasan Kota Marudu yang rumah gurunya diisytiharkan juga tidak selamat. Demi memastikan suasana pembelajaran yang terbaik dan kebajikan guru-guru pula terbela, saya mohon Kementerian Pendidikan melihat perkara ini dapat diatasi dengan kadar yang segera.
Tan Sri Yang di-Pertua, pada 28 Februari yang lepas, semua MP daripada Sabah telah dipanggil untuk taklimat khas pemberian khas RM300 juta oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP) mengenai dengan, berhubung kait dengan Perkara 112C, (1)(a) iaitu dua per lima ataupun 40 peratus daripada pungutan tax negeri Sabah.
Sebagai Ahli Yang Berhormat dari Sabah saya rasa bertanggungjawab penuh juga untuk mengulas perkara ini kerana ia amat sinonim dengan kehidupan negeri Sabah yang antara negeri yang termiskin. Bagi merancakkan pembangunan di negeri Sabah, Perkara 112C dalam Perlembagaan ini merupakan perkara asas untuk kita majukan Sabah dengan lebih efektif.
Dalam Titah Duli Yang Maha Mulia Baginda menyebut soal memelihara Perlembagaan dan soal kemakmuran rakyat. Justeru itu, saya merayu agar Perkara 112C ini ataupun 40 peratus ini dapat dilaksanakan sebagai memenuhi hak Sabah yang termaktub dalam Perlembagaan.
Untuk memastikan Sabah mempunyai peruntukan yang cukup, untuk majukan wilayah ini yang terkenal dengan kemiskinan kerana lapan daerah daripada Malaysia adalah di bawah Kerajaan Wilayah Sabah. Saya menaruh keyakinan di bawah pemerintahan Yang Berhormat Tambun, perkara ini dapat kita tuntaskan dan dapat diselesaikan dalam penggal ini.
Tan Sri Yang di-Pertua, yang perlu dibincang adalah soal tunggakan yang mana pembayaran 40 peratus ini hanya dilaksanakan oleh Kerajaan Pusat bermula dari tahun 1964 hingga 1968. Selepas itu tidak ada lagi rekod pembayaran berdasarkan 40 peratus. Ini boleh dibincang kepada kemampuan dan melihat kepada kemampuan kewangan Kerajaan Persekutuan. Tetapi bagi memulakan pembayaran yang baru, bagi pendapat saya tidak begitu sukar. Contohnya bermula pada tahun 2025, Sabah boleh dibayar 40 peratus ini berdasarkan pungutan tax daripada wilayah Sabah pada tahun 2024. Mana yang susahnya?
Tidak ada istilah tidak ada wang kerana tax telah pun dipungut dari wilayah Sabah.
Tan Sri Yang di-Pertua, seperkara lagi yang saya ingin sentuh adalah masalah kadar tambang. Saya bersetuju dengan Datuk Bung baru-baru ini. Ramai belia kita dan juga bukan belia sahaja, rakyat Sabah berhubung dengan kita sebagai wakil rakyat daripada Sabah menyatakan bawah adalah satu kesengsaraan kepada rakyat Sabah, bila mana musim perayaan Sabah, penerbangan kita MAS ini menaikkan harga hingga ke RM3,000 lebih even economy class.
Begitu juga Tan Sri Yang di-Pertua, syarikat tambang murah ini pun boleh menaikkan harga tiket sehala KK-KL sehingga melebihi RM3,000. Menghairankan kita. Mana tambang murahnya yang merupakan tagline syarikat tersebut, ‘Everyone Can Fly’. How to fly dengan kadar yang begitu tinggi? Kita mohon agar pihak Kementerian Pengangkutan semak perkara ini. Bagilah harga tetap yang mampu bagi rakyat Sabah dan Sarawak.
Tan Sri Yang di-Pertua, sedikit yang saya ingin merumuskan di sini. Saya mohon apa juga yang disuarakan melalui Dewan yang mulia ini dapat direkodkan dan juga diambil perhatian oleh semua kementerian agar ia mendapat pembelaan dan kita tidak akan payah untuk setiap tahun bercakap benda yang sama soal kemiskinan kalau di daerah saya ataupun di Parlimen saya Kota Marudu.
Bukan kebanggaan kita untuk bercakap soal kemiskinan ini. Pada saya kalau boleh saya mengelak untuk bercakap soal kemiskinan, tetapi ini adalah tuntutan rakyat yang perlu kita utarakan di Dewan yang mulia ini. Kita tidak dapat bercakap soal global, soal macam mana nak mengatasi masalah negara. Negara kita lebih tertumpu kepada masalah rakyat di kawasan sendiri.
Datuk Wetrom bin Bahanda - Kota Marudu
Tan Sri Yang di-Pertua, sebelum saya akhiri ucapan saya, sekali lagi ucapkan terima kasih kerana telah diberikan masa yang begitu banyak dan saya mengucapkan sebelum kita melalui bulan Ramadan, mungkin inilah ucapan yang terakhir, saya mengucapkan selamat menyambut bulan Ramadan kepada saudara-saudara Islam. Mudah-mudahan dalam bulan Ramadan ini kita akan mendapat keberkatan daripada Allah SWT. Sekian, Kota Marudu turut menyokong. Terima kasih Tan Sri Yang di-Pertua.
Tuan Yang di-Pertua
Terima kasih Kota Marudu. Yang Berhormat sekalian, mesyuarat ditangguhkan hingga jam 2.30 hari ini. Sekian, terima kasih.
[Mesyuarat ditempohkan pada pukul 1.02 tengah hari]
[Mesyuarat disambung semula pada pukul 2.30 petang]
Tuan Yang di-Pertua
[Timbalan Yang di-Pertua (Dato’ Ramli bin Dato’ Mohd Nor) mempengerusikan
Mesyuarat] Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Yang Berhormat di dalam Dewan, kita akan mula balik perbahasan. Sebelum itu, ingin saya maklumkan perbahasan dipotong ke 10 minit kerana kekangan waktu dan dengan itu, saya mempersilakan Yang Berhormat Bukit Gantang.
Dato’ Syed Abu Hussin bin Hafiz Syed Abdul Fasal - Bukit Gantang
Bismilllahi Rahmani Rahim, Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Tan Sri Yang di-Pertua, Tuan Yang di-Pertua. Bukit Gantang merafak, menjunjung kasih atas Titah Kebawah Duli Yang di-Pertuan Agong dan ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih atas ketegasan baginda untuk tidak mahu melayan sebarang usaha mengganggu gugat Kerajaan Perpaduan, Kerajaan Madani. Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong juga bertitah agar semua Ahli Parlimen menyumbangkan buah fikiran yang membolehkan kerajaan memberikan fokus kepada pembangunan negara dan 33 juta rakyat Malaysia, terutama dalam konteks menangani kos sara hidup.
Tuan Yang di-Pertua, keperluan beras rakyat Malaysia dianggarkan sebanyak tiga juta metrik tan setahun, di mana sebanyak 40 peratus atau 1.2 juta metrik tan beras perlu diimport untuk menampung bekalan beras tempatan yang tidak mencukupi.
Bercakap tentang isu beras, sesi Dewan Rakyat kali ini begitu hangat membahas tentang isu harga beras yang memberi kesan kepada kos sara hidup rakyat. Ramai Ahli-ahli Parlimen yang bangun membicarakan keresahan rakyat berkenaan isu beras, termasuk Larut, Pagoh, Arau, Beluran, Kapar dan ramai lagi, juga termasuk menyentuh peranan Bukit Gantang.
Keprihatinan yang sama turut ditunjukkan oleh Yang Amat Berhormat Tambun semasa hadir di Program Jualan Termurah Madani di Tambun dan di Permatang Pauh. Saya yang mengiringi Yang Amat Berhormat Tambun, melihat sendiri betapa terharunya beliau melihat rakyat berpusu-pusu dan berebut-rebut membeli beras dengan harga RM30 sekampit. Lantas Yang Amat Berhormat Tambun terus mengerahkan saya sebagai Ketua Task Force Pemantauan Kos dan Makanan NACCOL untuk mencari punca kehilangan beras putih tempatan dari pasaran kini.
Isu utama krisis harga beras ini adalah kerana beras putih tempatan tiada di pasaran.
Beras putih tempatan dan beras putih import adalah jenis yang sama dan sukar dibezakan.
Beras putih tempatan dikawal pada harga RM26 sekampit, manakala harga beras putih import tidak dikawal.
Apabila berlaku kenaikan harga beras dunia, maka BERNAS telah mengumumkan pada 1 September 2023, harga baru beras import dengan harga jualan borong RM3,200.
Susulan kenaikan itu, beras putih import dijual di pasaran tempatan kepada pengguna lebih daripada RM40 sekampit, manakala beras putih tempatan kekal hanya boleh dijual pada harga RM26 sekampit. Berlakunya dua struktur harga.
Dato’ Syed Abu Hussin bin Hafiz Syed Abdul Fasal - Bukit Gantang
Oleh kerana terdapat peluang untuk mengaut keuntungan yang lebih, maka pemain industri iaitu kartel telah mengampit beras putih tempatan sebagai beras putih import dan menjualnya pada beras putih import. Keadaan ini menyebabkan pengilang atau kartel membeli padi dengan harga yang tinggi daripada pesawah dengan harapan boleh menjual dengan harga yang lebih tinggi juga sebagai beras import. Ekosistem yang berlaku ini menyebabkan pembelian harga padi dan harga beras tidak stabil.
Siapa yang melakukan ini? Bahagian Kawal Selia Padi seolah-olah membenarkan perkara ini berlaku dengan tidak mengambil tindakan tegas ke atas pelanggaran peraturan ini. Di pihak rakyat, resah, gelisah, marah kerana harga beras meningkat secara berterusan dan dimanipulasi oleh pemain industri. Saya ingin memberi pernyataan kepada lima pengilang besar yang mengawal 80 peratus pasaran padi dan beras tempatan, supaya jangan jadikan ketamakan untuk mengaut keuntungan berlebihan hingga rakyat dan kerajaan terjebak menjadi mangsa krisis.
Saya juga mengharapkan Bahagian Kawal Selia Padi dan Beras melaksanakan amanah dengan bersungguh-sungguh serta memberikan maklumat yang betul dan tepat kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dan Yang Berhormat Menteri-menteri supaya membolehkan mereka membuat keputusan yang segera dan tepat untuk kepentingan rakyat.
Akibat daripada manipulasi kartel ini, rakyat ditipu kerana terpaksa membayar harga tambahan lebih daripada sepatutnya, sekurang-kurangnya RM14 sekampit. Dalam tempoh enam bulan iaitu sejak September 2023, sekiranya sebanyak 720,000 tan metrik, 80 peratus daripada beras putih tempatan telah dijual secara manipulasi dengan harga beras putih import.
Ini bermakna sebanyak RM1.008 bilion telah dirompak daripada poket rakyat. Pada setiap satu hari kerajaan menangguhkan keputusan untuk menetapkan harga siling beras putih, bermakna sebanyak RM7 juta duit rakyat telah dirompak. Siapa yang akan bertanggungjawab di atas kesengsaraan rakyat ini? Walaupun Bahagian Kawal Selia Padi dan Beras Negara, KPDN telah mengeluarkan kenyataan pada 7 September 2023 bahawa tidak berlaku penukaran kampit - Op Jamin tetapi kenapa beras putih tempatan masih tidak ada di pasaran, sepertimana rungutan peruncit, pengguna dan Ahli-ahli Yang Berhormat di dalam Dewan ini?
Tuan Yang di-Pertua, bagi saya, keadaan ini boleh menjadi berleluasa sekiranya tiada tindakan penguatkuasaan yang serius dan berkesan daripada semua pihak. Pada bulan Oktober 2023, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan telah Task Force Khas Op Bersatu Beras Putih Tempatan (OP BPT) dan bersetuju menurunkan kuasa di bawah Akta 522 kepada agensi-agensi penguatkuasaan bagi menjalankan pemeriksaan. Namun, setelah lima bulan Op BPT dijalankan, kami Ahli Parlimen masih membangkitkan isu ketiadaan beras putih tempatan di Dewan ini.
Pada pagi ini, saya telah merakamkan laporan di 30 lokasi pasar raya di seluruh negara di Semenanjung, berhubung dengan ketiadaan beras putih tempatan. Pagi ini masih tiada lagi. Oleh itu, Op BPT sila bentangkan dalam Dewan yang mulia ini, sejauh manakah keberkesanan penguatkuasaan yang telah dilakukan?
Dato’ Syed Abu Hussin bin Hafiz Syed Abdul Fasal - Bukit Gantang
Apakah langkah-langkah penambahbaikan yang diambil? Berapa kali kah penguatkuasaan bersepadu telah dilakukan? Oleh kerana penguatkuasaan yang tidak menampakkan kejayaan, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dengan serius menegaskan bahawa kawalan kepada harga barang mesti diperketatkan melalui Task Force Pemantauan (Kluster Makanan) NACCOL.
Tidak benarlah tuduhan yang mengatakan bahawa Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Tambun tidak mengambil peduli tentang peningkatan kos sara hidup dan kenaikan harga barang makanan. Malahan, Yang Berhormat Tambun mengambil tindakan luar biasa dengan menubuhkan task force yang khusus untuk memantau kenaikan harga makanan.
Oleh itu, demi menyampaikan keresahan rakyat yang terbeban dengan ketiadaan beras putih tempatan di pasaran, saya yang telah dipilih oleh Yang Amat Berhormat Tambun selaku Ketua Task Force Pemantauan (Kluster Makanan) NACCOL telah membuat satu pendekatan yang mengejutkan dan mengumumkan harga siling tunggal Beras Putih Madani
Dato’ Syed Abu Hussin bin Hafiz Syed Abdul Fasal - Bukit Gantang
pada harga RM30 sekampit. Ini dibuat setelah mengambil kira pandangan pesawah, pengilang, pengimport, pandangan pesawah, pandangan peruncit dan rakyat keseluruhannya.
Sebagai ketua task force, saya tidak mengambil alih tugas mana-mana Menteri, sama ada Menteri KPKM ataupun Menteri KPDN. Tugas saya adalah membantu Yang Amat Berhormat Perdana Menteri selaku Pengerusi Majlis Tindakan Kos Sara Hidup Negara
(NACCOL). Dengan harga ini, kerajaan akan berjaya menurunkan harga beras putih di pasaran daripada RM40 kepada RM30 sekampit. Rakyat selaku pengguna mesti gembira.
Kebajikan pesawah turut diambil kira kerana harga RM26 sekampit itu sudah tidak dinaikkan sejak 18 tahun lalu. Pesawah mahukan harga jualan padi sebanyak RM1,700.
Dengan harga RM30 sekampit ini, pengilang, pemborong dan peruncit juga memperoleh margin keuntungan yang bersesuaian. Ini merupakan inisiatif bagi membuka mata semua pihak supaya harga beras lebih stabil dan rakyat tidak menjadi mangsa.
Tuan Yang di-Pertua, BERNAS sebagai monopoli pengimport tunggal bagi konsesi kali kedua, juga diminta menjalankan collective responsibility dan national service dengan melakukan penyelarasan harga borong beras import yang bersesuaian, agar hasrat mewujudkan satu gred tunggal beras putih Malaysia Madani dengan satu harga tunggal dapat dicapai demi kepentingan 33 juta orang rakyat negara ini.
Jika BERNAS tidak mampu kendalikan ini, kita mencadangkan kerajaan memberikan kebenaran khas mengimport short-term kerana ada pihak seperti NAFAS dan juga PKPS Negeri Selangor bersedia untuk membawa masuk beras import dengan harga yang lebih kompetitif.
Yang Amat Berhormat Tambun telah menetapkan tarikh 20 Mac 2024 ini sebagai tarikh isu harga beras akan dimuktamadkan. Seluruh rakyat Malaysia menantikan khabar gembira ini pada hari tersebut.
Tuan Yang di-Pertua, Kalau hendak menjerat rusa, Siapkan tali simpul erat, Kalau hendak berbuat jasa, Tetapkan hati betulkan niat. Dengan ini Bukit Gantang mohon menyokong sepenuhnya titah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
[Berucap dalam bahasa Arab]
Timbalan Yang di-Pertua - Dato' Ramli bin Dato' Mohd Nor
Terima kasih Yang Berhormat Bukit Gantang, terima kasih kerana mengikut waktu. Dipersilakan Yang Berhormat Tenggara.
Tuan Manndzri bin Nasib - Tenggara
Bismillahi Rahmani Rahim, Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam Malaysia Madani. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua memberi ruang kepada Tenggara untuk turut serta membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang telah disempurnakan pada 26 Februari yang lalu.
Saya mewakili seluruh bangsa Johor di Tenggara, menjunjung kasih dan merafak sembah setinggi-tinggi tahniah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar atas pelantikan sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-XVII serta Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah binti Almarhum Sultan Idris Shah. Kami berikrar akan menumpahkan taat setia tanpa berbelah bahagi kepada Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda berdua.
Tuan Yang di-Pertua, di kesempatan ini juga Tenggara merafakkan sembah ucapan terima kasih dengan setinggi-tinggi penghargaan terhadap Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah yang
Tuan Manndzri bin Nasib - Tenggara
telah menyempurnakan pemerintahan baginda dengan begitu cemerlang sekali, tahniah tuanku.
Di kesempatan ini juga, izinkan saya menyentuh beberapa hal. Pertamanya, berkaitan perpaduan bangsa Malaysia. Sebuah kepimpinan harus melahirkan negara dengan ciri-ciri baldatun thayyibatun wa rabbun ghafur; negara yang baik diampuni Tuhan, negara yang makmur dan sejahterakan rakyat dengan landasan syariah. Rakyat pula harus menghayati tanggungjawab bernegara, memberikan taat setia kepada pemimpin, prinsip maqasid syariah memberi penekanan dalam aspek penjagaan nyawa, agama, akal, keturunan dan harta– dipraktikkan dan dijadikan panduan demi memelihara dan mempertahankan kemakmuran negara.
Dalam konteks ini, aspek perpaduan amat mustahak untuk memacu negara dengan segala aspek yang dinamika yang ada sebagaimana titah Duli Tuanku. Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara mesti dijadikan sandaran. Di kala Rukun Negara seakan- akan dilupai, kita sebagai Ahli Dewan Rakyat bertanggungjawab untuk memperkasa dan memugar semula semangat Rukun Negara. Saya ucapkan tahniah dan syabas kepada Tan Sri Speaker dan Kementerian Perpaduan kerana buat julung-julung kalinya, ikrar Rukun Negara dilafazkan sejurus persidangan bermula.
Ketidaktentuan dan ketidakstabilan politik menyumbang berlakunya keretakan dalam hubungan antara kaum. Ia secara tidak langsung membangkitkan sikap prejudis, stereotaip, curiga, sangsi dan etnosentrik yang menebal. Situasi ini menghakis perpaduan negara. Oleh sebab itu apabila tuanku dalam titahnya menoktahkan ketidaktentuan ini dengan mengatakan bahawa tiada lagi dan tidak akan melayan apa-apa lagi rundingan, Tenggara yakin titah tuanku berkenaan memberi kebaikan tentang imej kestabilan negara kita.
Saya- suka di sini Tenggara mencadangkan berkaitan dengan akta– dengan Rukun Negara ini digubal satu akta yang kalau boleh kita namakan Akta Khianat Rukun Negara, dengan mudah-mudahan dengan garis panduan yang ditetapkan melalui akta itu, boleh mengekang dari berlakunya perlakuan-perlakuan yang boleh memusnahkan perpaduan.
Keduanya adalah berkaitan dengan petani, penternak dan nelayan. Nelayan, petani dan penternak ini disentuh oleh tuanku dalam titahnya yang merupakan penyumbang utama kepada keterjaminan makanan negara. Bukan untuk diri mereka sahaja, tetapi untuk seluruh masyarakat Malaysia dan dunia.
Sektor penting ini berkait rapat dengan golongan yang memerlukan perhatian ini.
Berdasarkan indeks sekuriti makanan global (GFSI), Malaysia berada di kedudukan 28 tahun 2019 dan jatuh ke kedudukan 43 pada tahun 2020 daripada 113 buah negara kesan pandemik COVID-19. Indeks GFSI bagi tahun 2022, Malaysia naik pada kedudukan 41 dengan mata 69.9 peratus dan masih berada pada tahap sederhana. Tindakan agresif perlu dilaksana bagi menjamin sekuriti makanan, sekiranya tidak di laksana, rakyat berkemungkinan berdepan dengan kelaparan menjelang 2030.
Berdasarkan laporan Food Security Information Network 2020, hampir 135 juta orang daripada 55 buah negara terkesan akibat masalah ketidakterjaminan makanan– 73 juta daripadanya adalah daripada benua Afrika.
Negara kita mengimport sekitar 19.5 peratus, bernilai lebih kurang RM50.5 bilion daripada jumlah produk makanan. Sektor ini juga memerlukan pekerjaan kepada lebih 16 peratus daripada tenaga buruh negara. Kadar sara diri (SSR) agromakanan negara.
kemandirian negara kita dalam makanan ini– beras 62.6 peratus, buah, sayur-sayuran, daging lembu, daging ayam, itik dan sebagainya– telur tertinggi 108.9 peratus , susu segar 57.3 peratus dan ikan 90.2 peratus. Daripada keseluruhan SSR, ini saya ingin sentuh perihal ikan sahaja.
Berdasarkan maklumat yang saya dengar, terdapat hampir 11,000 nelayan yang di gaji merupakan warga asing dan antaranya adalah landless citizen, tiada negara. Sekiranya undang-undang yang ada dan penguatkuasaan yang dibuat oleh KDN, KPKM terhadap mereka ia akan mengganggu sekuriti makanan negara. Kerajaan perlu semak semula dasar yang berkaitan, libatkan perbincangan antara KDN, KPKM supaya boleh menangani isu awak-awak profesional ini dalam masa segera.
Tuan Manndzri bin Nasib - Tenggara
Ini kerana sekiranya tindakan tegas diambil kepada 11 awak-awak ini, awak-awak profesional ini, maka kita sukar untuk mengeluarkan hasil laut kita.
Sektor agromakanan perlu diperkasakan, penyelidikan berinovatif dipertingkatkan, penggunaan teknologi di perkasa selari meningkatkan kadar pendapatan dan inisiatif-inisiatif dan ikhtiar-ikhtiar tertentu mestilah dimunculkan. Golongan muda juga mestilah diberikan insentif-insentif tertentu supaya lebih berminat untuk terlibat dengan– contohnya bidang nelayan ini.
Dalam hal ini, Tenggara mohon dipertimbangkan kerajaan untuk menambah peruntukan bagi program pemodenan pertanian dan pertanian pintar yang berdaya mampan bagi memastikan pertanian dan penternakan di Malaysia bergerak seiring teknologi terkini bagi mentransformasikan pertanian tradisional.
Penglibatan MNC, GLC dan GLIC mestilah serius supaya di gembleng bersama untuk menjayakan misi food security kita ini.
Tuan Manndzri bin Nasib - Tenggara
Buat ke sekian kalinya di Dewan ini, saya menyeru agar agensi yang memiliki dan mengurus sumber tanah negara seperti FELDA, RISDA dan FELCRA termasuk kerajaan- kerajaan negeri wajib berganding bahu dan bersinergi menguruskan polemik keterjaminan makanan, bukan semata-mata untuk keperluan hari ini tetapi untuk jangka masa panjang.
Sepatah kata pepatah Cina, satu generasi menanam pokok, seluruh dinasti menumpang teduh. Generasi di masa hadapan bergantung harap kepada tindakan-tindakan dan usaha kita pada hari ini.
Seterusnya adalah berkaitan dengan manfaat dan ancaman sempadan negara.
Rencana Thailand yakni membina pelabuhan jambatan darat terusan Segenting Kra, memendekkan perjalanan kapal, tidak perlu melalui Selat Melaka memberi implikasi besar kepada Malaysia. Memendekkan masa perjalanan kira-kira empat hari dan mengurangkan perbelanjaan sebanyak 15 peratus.
Kesan ketara, pelabuhan utama Malaysia akan terima tempias iaitu Klang, Kuantan, Tanjung Pelepas dan Pasir Gudang. Tidak banyak kapal akan melalui Selat Melaka. Kerajaan perlu menawarkan sesuatu yang lebih kompetitif, membawa pulangan lebih baik berbanding dengan Thailand. Ada pro dan kontra, kerajaan perlu membuat rancangan holistik terhadap sektor logistik, manfaat diterima Malaysia. Faedah ekonomi yang bakal dijana khususnya sektor pelancongan, kapal persiaran boleh dimanfaatkan.
Kerjasama geopolitik dan diplomasi serantau antara Thailand dan Malaysia dipertingkatkan agar kedua-duanya memberikan faedah dan pulangan pelaburan. Kita juga melihat tentang usaha Indonesia membangunkan Kalimantan Raya di belah timur yang dinamakan Nusantara. Itu juga perlu kepada perhatian dan tindakan kita untuk bersiaga mendepani sebarang kemungkinan kemunculan zon baharu pentadbiran di Indonesia.
Kerajaan wajar membuka zon pertumbuhan ekonomi serantau melibatkan Thailand, Indonesia dan Singapura, merancakkan sektor ekonomi bagi manfaat bersama, terbitkan peluang pekerjaan baharu. Tingkat taraf hidup rakyat di kawasan sempadan Sabah, Sarawak dengan Indonesia di Kalimantan, Kedah, Perlis, Perak dengan Thailand dan Johor dengan Singapura dan Indonesia.
Atas urusan-urusan negara jiran ini juga, wajar diwujudkan jawatankuasa atau pasukan khas tetap kerajaan bagi mengkaji dan bersedia dengan senjata-senjata. Terwajar undang-undang antarabangsa melibatkan wilayah-wilayah yang bertindan tuntutan mesti wujudkan pasukan khas yang kerjanya siang malam, pagi petang cari jalan untuk pertahankan wilayah dan dapatkan semula wilayah yang telah terlepas misalnya melancholia, sebuah pulau bernama Batu Puteh, Pedra Branca.
Akhirnya, saya pergi kepada urusan-urusan Tenggara, sedikit tentang pendidikan.
Saya mendapat maklumat daripada rakan-rakan pendidik bahawa perlu kepada kerajaan mengkaji semula mewujudkan sistem peperiksaan misalnya pemansuhan UPSR. Tidak mahu melahirkan generasi berasaskan peperiksaan. Generasi yang lahir tanpa ujian malah adab dan akhlak juga ada kesan.
Tuan Manndzri bin Nasib - Tenggara
Pelajar mungkin belajar sekadar memenuhi tuntutan belajar. Jika ada peperiksaan, sekurang-kurangnya ada medium untuk dicurahkan. Benar, peperiksaan bukanlah satu- satunya instrumen untuk menilai tahap kognitif murid. Kita tidak boleh nafikan peperiksaan juga adalah instrumen yang paling berkesan menilai tahap kognitif murid.
Hal Tenggara ini, saya suka untuk berkongsi Tuan Yang di-Pertua, berkaitan dengan banjir di Tenggara merupakan acara tahunan. Jadi, memerlukan intervensi pihak kerajaan mencari kaedah baharu yang lebih mampan, mengurangkan risiko banjir, percepatkan projek tebatan, perkenalkan skim insurans yang mampan yang mampu mengurangkan beban fiskal kerajaan. Ada dua kisah.
Tuan Yang di-Pertua, satu minit Tuan Yang di-Pertua ya? Pertamanya, tentang kisah Taman Scientex, Kota Tinggi. Ia sebuah taman perumahan baharu tetapi banjir monsun kali ini menjejaskan lebih 50 unit rumah baru yang belum diduduki. Timbul persoalan kebenaran merancang. Agensi kerajaan berkaitan perlu bertanggungjawab kerana gagal melakukan kajian menyeluruh sehingga rumah yang baru dibeli dan belum diduduki telah tenggelam dek banjir.
Keduanya adalah berkaitan dengan keperluan penduduk di Taman Kemang dan Taman Kuso. Setiap tahun kalau jumpa air pasang pun dia banjir. Tidak payah tunggu hujan monsun ini Tuan Yang di-Pertua. Jadi, suatu ketika di Tenggara, Kampung Panti dan Kampung Kelantan telah dipindah penempatan banjir iaitu Taman Desa Sejahtera. Namun, masih lagi wujud kawasan confirm tenggelam ini seperti Taman Kuso dan Taman Kemang ini. Maka, saya rasa selepas 15 tahun, perlu ada usaha juga untuk pindahkan penempatan seperti Taman Kemang, Taman Kuso ke lokasi selamat yang memerlukan kajian dan tindakan oleh kerajaan negeri, NADMA dan KPKT. Jika tidak, kita akan hadap keperitan rakyat saban tahun.
Jadi, itu sahaja daripada saya. Saya hendak ucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Menteri dan Yang Berhormat Timbalan Menteri JKR kerana pada hujan monsun baru-baru ini datang melawat ke lokasi-lokasi jambatan runtuh dan tanah runtuh tepat pada masanya.
Sebagai pengakhiran, saya ingin menyampaikan salam orang kampung saya, Dato’ Speaker. Jika SST 8 persen ini menimbulkan bebanan kepada masyarakat, rasanya mungkin molek kita beralih kepada GST, satu masa 6 persen yang pernah memberikan pendapatan kepada negara. Kurangkan 10 peratus ekonomi gelap. Pada 2017, kita kutip RM44 bilion, 173 negara daripada 194 negara melaksanakannya. Jadi, mungkin kita boleh memikirkan bersama-sama.
Itu sahaja daripada saya. Tenggara mohon menyokong Titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Terima kasih Dato’ Speaker.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato' Ramli bin Dato' Mohd Nor
Terima kasih Yang Berhormat Tenggara. Dipersilakan Yang Berhormat Langkawi.
Dato’ Haji Mohd Suhaimi bin Haji Abdullah - Langkawi
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih Dato’ Yang di-Pertua. Alhamdulillah, kita diberikan peluang untuk meneruskan persidangan Parlimen untuk penggal yang ke-15.
Negara ini amat bertuah kerana berpeluang untuk bernaung di bawah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang akan memerintah selama lima tahun.
Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menjunjung kasih dan merafak sembah setinggi tahniah kepada baginda tuanku atas pelantikan sebagai Yang di-Pertuan Agong yang ke-XVII. Sepertimana yang kita tahu, baginda seorang yang berjiwa rakyat dan sentiasa prihatin dengan nasib rakyat semasa menaiki takhta sebagai Sultan Johor. Saya amat yakin tuanku akan membawa roh dan gaya pemerintahan yang sama, sepanjang lima tahun ini.
Saya juga ingin memanjangkan jemputan kepada baginda tuanku untuk mencemar duli dan melawat Pulau Langkawi yang menjadi Permata Pelancongan Negara. Saya yakin
Dato’ Haji Mohd Suhaimi bin Haji Abdullah - Langkawi
ribuan rakyat Langkawi akan menyambut kehadiran baginda tuanku dengan meriah dan takzim.
Buat makluman Dewan yang mulia ini, Raja Norway Raja Harald V telah bercuti ke Langkawi baru-baru ini dan dimasukkan ke Hospital Sultanah Maliha untuk rawatan implan perentak jantung. Baginda telah dimasukkan ke wad biasa kerana tiada Wad Diraja atau wad untuk tetamu kehormat dari negara luar.
Saya ingin mendapatkan penjelasan mengenai ketersediaan fasiliti-fasiliti kesihatan awam dan jumlah doktor pakar yang ada di Langkawi. Bersediakah Pulau Langkawi untuk kes-kes yang membabitkan kecemasan kritikal. Bukan sahaja untuk rakyat, malahan VVIP dari dalam dan luar negara. Saya juga mengambil kesempatan ini untuk menjemput syarikat- syarikat GLC untuk melihat kepada Pulau Langkawi, sama ada boleh didirikan tourism hospital ataupun health hospital. Seterusnya, saya ingin membawa perhatian Dewan ini kepada beberapa isu berkait dengan Kementerian Kerja Raya. Tentu sekali jika disebut mengenai kementerian ini, tentunya kita akan terbayang jalan raya walaupun skop kementerian ini lebih besar, membabitkan bangunan-bangunan persekutuan. Namun, izinkan saya untuk meluangkan lebih masa mengutarakan isu kualiti jalan raya di negara ini.
Setelah lebih 60 tahun merdeka, negara menyaksikan pembangunan yang pesat dan ini membawa kepada aspek perhubungan antara negeri-negeri. Jalan raya dan lebuh raya dibina bagi tujuan ini. Menurut laporan sebelum ini, panjang keseluruhan lebuh raya dianggarkan sekitar 65 ribu kilometer, lebih panjang daripada lilitan bumi. Apakah ada pelan untuk menguruskan kesemua jalan di negara ini? Mengambil kira usia jalan yang berpuluh tahun telah terbina. Bagaimanakah amalan-amalan di negara lain, berbanding dengan negara kita?
Umum mengetahui ada beberapa pihak yang menyelenggarakan jalan di Malaysia.
Antaranya pihak negeri, perbandaran dan pemilik-pemilik jalan yang lain. Menurut laman web JKR, agensi itu menyelia jalan persekutuan, jalan ke kawasan industri dan tanah rancangan serta jalan-jalan negeri.
Namun, ini menimbulkan kekeliruan kepada rakyat yang tidak sedar atau tidak tahu pemilik jalan. Apakah ada kewajaran untuk menyatukan semua jalan-jalan awam di bawah pentadbiran satu pihak sahaja seperti JKR? Semasa LIMA di Langkawi, ada jalan yang rosak.
Namun, tiada pihak yang mengaku jalan tersebut adalah di bawah selenggaraan mereka. Ini mengakibatkan jalan itu tidak dapat diurus dengan baik.
United Kingdom, laporan daripada laman AE Fox Limited menyatakan jalan raya di negara tersebut berdepan dengan krisis penyelenggaraan akibat banyaknya lubang atau pothole. Kos pembaikan kenderaan di UK yang rosak akibat faktor jalan raya menurut laporan itu bernilai 4 billion pounds atau 24 bilion ringgit setiap tahun.
Dato’ Haji Mohd Suhaimi bin Haji Abdullah - Langkawi
Bagaimanakah dengan Malaysia? Berapakah jumlah tuntutan akibat kerosakan jalan yang dibuat oleh rakyat Malaysia secara keseluruhannya? Jika tiada data bersepadu oleh kerana pemilikan jalan raya oleh pelbagai pihak, maka perlu ada penyelarasan oleh KKR untuk mendapatkan gambaran yang lebih tepat.
Selain itu, keberkesanan dan kecekapan pihak berwajib dalam menyelenggara jalan turut menjadi pertikaian. Ini diakui sendiri oleh Menterinya Yang Berhormat Kapit yang beberapa minggu lalu menyeru agensi-agensi di bawah KKR agar tidak hanya bertindak selepas sesuatu aduan menjadi tular. Berapa jumlah kontraktor yang sudah disenaraihitamkan oleh kementerian kerana tidak kompeten dalam melaksanakan projek- projek kerajaan? Kita juga dimaklumkan bahawa kerajaan mencipta satu aplikasi baharu bernama MyJalan untuk pengguna jalan raya mengemukakan aduan.
Sebenarnya, sudah ada banyak saluran yang ada untuk membuat aduan antara laman web JKR Care. Sistem pengurusan aduan awam selain e-mel dan panggilan telefon.
Apakah keperluan? Adakah keperluan diwujudkan satu lagi cara baharu untuk membuat aduan? Berapa ramai anggota yang ditugaskan untuk memantau aduan di semua platform?
Dato’ Haji Mohd Suhaimi bin Haji Abdullah - Langkawi
Berapakah aduan yang diterima di bawah platform aduan-aduan sebelum ini dan apa jadi pada aduan-aduan tersebut?
Selain itu, timbul isu berkenaan dengan mutu turapan jalan oleh pihak kontraktor atau syarikat utiliti. Sebagai satu langkah yang proaktif, saya ingin mencadangkan agar kursus turapan jalan diajar di sekolah vokasional, teknik atau mana-mana institusi TVET. Ini kerana tenaga buruh yang terlibat dalam bidang ini kebanyakannya warga asing yang sebenarnya tiada kemahiran atau ilmu.
Ini diburukkan lagi dengan tiadanya pemantauan daripada pihak berwajib dan SOP pembinaan atau penyelenggaraan yang tidak diikuti. Dengan berkembangnya teknologi kenderaan, sewajarnya teknologi jalan juga berkembang dan diadaptasi di Malaysia. Sebagai contoh, laluan motosikal di negara ini dibuat ketika saiz dan kuasa motosikal tidak terlalu besar. Tetapi dengan banyaknya motosikal yang berkuasa besar, ada laluan-laluan motosikal yang tidak sesuai lagi dengan saiz motor yang besar. Begitu juga dengan teknologi kenderaan elektrik dan pemanduan auto pilot. Bagaimanakah jalan raya di Malaysia bersedia untuk mengadaptasikan kemajuan teknologi yang pesat ini?
Tuan Yang di-Pertua, saya juga ingin membawa perhatian kepada kemalangan- kemalangan akibat kecuaian pemilik jalan dalam menyelenggarakan jalan raya. Seorang warga Pakistan di Selangor juga berjaya memperoleh pampasan RM50,000 pada tahun 2022. Tahun yang sama menyaksikan seorang mekanik daripada Kota Bharu, Kelantan menang kes tuduhan saman bernilai RM652,000 terhadap kontraktor penyelenggaraan.
Pada tahun 2021, seorang warga emas berbangsa Cina maut selepas terlanggar lubang di kawasan berhampiran Mid Valley. Sewajarnya kerajaan tanpa perlu ditunggu- tunggu atau tanpa masuk ke mahkamah perlu menyediakan jumlah pampasan kepada mangsa-mangsa cedera atau terkorban akibat kelalaian penyelenggaraan jalan.
Jika kemalangan maut, bagaimanakah pampasan diberikan kepada keluarga mangsa? Sebaiknya pihak yang bertanggungjawab wajib menjejak waris mangsa dan menawarkan pampasan dengan jumlah yang adil tanpa perlu disuruh atau menunggu perintah mahkamah. Ingatlah titah baginda tuanku semasa menjadi Sultan Johor, rim tayar kereta baginda juga bengkok kerana masalah jalan raya. Saya yakin isu kualiti jalan ini amat dekat di hati Baginda dan semestinya ini adalah masa terbaik untuk kita meningkatkan tahap mutu dan kualiti.
Oleh kerana bidang kuasa saya portfolio KKR, maka sambung lagi untuk KKR Tuan Yang di-Pertua. Di bawah KKR, bukan sahaja jalan raya yang ditugaskan, bahkan beberapa aspek lain seperti bangunan-bangunan Persekutuan. Saya ingin bertanya kepada Menteri KKR, berapakah jumlah bangunan-bangunan daif? Apakah kategori bangunan ini sama ada sekolah, klinik, hospital, kuarters kerajaan atau lain-lain? Bagaimanakah bentuk kerjasama antara KKR dengan kementerian lain atau kerajaan negeri? Dalam membentuk prasarana kerajaan terus dipelihara untuk kemudahan perusahaan rakyat.
Penyelenggaraan bangunan Tuan Yang di-Pertua adalah satu yang penting untuk dibahaskan. Meskipun ia membabitkan kementerian dan pemilik bangunan lain. Saya fikir terdapat keperluan untuk menyelaras amalan-amalan terbaik atau best practices dalam soal ini. Misalnya, beberapa kemudahan seperti lif, eskalator, tandas kerap rosak di tempat awam seperti stesen-stesen, hospital dan pelbagai tempat lagi.
Sebagai contoh, petugas kesihatan di sebuah hospital di Melaka terpaksa mengangkat pesakit menggunakan tangga kerana kerosakan lif pada Jun 2023. Dalam satu laporan, minta tambahan sedikit Tuan Yang di-Pertua? Dalam satu laporan audit daripada Prasarana Malaysia Berhad, semua lif di 16 stesen monorel sekitar Lembah Klang didapati tidak berfungsi. 46 daripada 706 eskalator juga didapati tidak berfungsi dan 664 lampu dilaporkan rosak. Laporan itu juga menyatakan 17 lokasi di bawah pengurusan syarikat itu mengalami kebocoran.
Pada tahun 2022, seorang wanita OKU berkerusi roda terpaksa dibawa oleh polis bantuan ke stesen KTM Seremban kerana lif rosak. Dalam kes ini, Perbadanan Aset Keretapi memaklumkan pihak kontraktor dan JKR akan meneliti dan membaiki lif-lif tersebut. Mengapa perlu kita menunggu sesuatu isu menjadi tular barulah kita— pihak berkaitan mengambil tanggungjawab. Begitu juga...
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Yang Berhormat, gulung.
Dato' Haji Mohd Suhaimi bin Abdullah - Langkawi
Mengambil iktibar daripada kes-kes begini untuk menyuburkan dan memurnikan budaya penyelenggaraan atau maintenance culture di Malaysia perlu bermula sekarang, Tuan Yang di-Pertua. Di bawah KKR juga ada Lembaga Jurutera Malaysia dan Lembaga Lebuhraya Malaysia.
Saya ingin mengetahui, apakah peranan arkitek dan Lembaga Jurutera dalam memperjuangkan nasib golongan profesional ini? Laporan akhbar pada tahun 2022 menyatakan hampir 35 peratus jurutera di negara ini dikenal pasti menerima gaji permulaan di bawah RM2,000. Apakah yang boleh dilakukan oleh Lembaga Jurutera...
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Yang Berhormat 30 saat saya tutup.
Dato' Haji Mohd Suhaimi bin Abdullah - Langkawi
...dalam memastikan isu ini?
Tuan Yang di-Pertua, last untuk saya gulung. Saya baharu menerima sebentar tadi satu fotostat Wikipedia yang bertajuk, “Jambatan Perlis, Langkawi”. Cadangan ini Malaysia ini yang akan menghubungi Kuala Perlis di Perlis negeri di tanah besar Semenanjung Malaysia ke Pulau Langkawi di Kedah.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Yang Berhormat, 15 saat.
Dato' Haji Mohd Suhaimi bin Abdullah - Langkawi
...ia akan dibina oleh Kumho Engineering & Construction, sebuah syarikat Korea. Pembinaan akan bermula pada 6 November 2024 dan siap menjelang 2027. Saya hendak bertanya kepada Menteri— Transport Minister, dengan izin.
[Pembesar suara dimatikan]
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Duduk Yang Berhormat. Duduk Yang Berhormat Langkawi. Terima kasih. Silakan Yang Berhormat Selangau. Pohon maklum ya kekangan masa 10 minit kerana waktu tidak ada usul sampai 5.30 sahaja. Pembahas ada 20 orang.
Tuan Edwin anak Banta - Selangau
All right, terima kasih Dato’ Yang di-Pertua kerana memberi peluang kepada Selangau turut serta membahas Usul Menjunjung Kasih Ke atas Titah Diraja. Salam sejahtera kepada Ahli-ahli Yang Berhormat yang saya muliakan.
Saya mewakili rakyat Selangau ingin mengucapkan tahniah kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang telah dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-XVII.
Saya juga ingin mengambil peluang ini untuk menyampaikan penghargaan dan mengucapkan terima kasih kepada Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang telah menamatkan pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong ke-XVI.
Keprihatinan dan sifat kepimpinan yang ditunjukkan oleh Al-Sultan Abdullah sepanjang tempoh pemerintahannya akan sentiasa dikenang oleh kami rakyat di Selangau.
Dato’ Yang di-Pertua, Titah Diraja yang disampaikan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong membawa makna yang mendalam dan menyentuh pelbagai aspek-aspek penting dalam pembangunan negara.
Tuan Edwin anak Banta - Selangau
Perkara-perkara yang disentuh memerlukan tindakan yang proaktif daripada Kerajaan Madani untuk merangka dan melaksanakan langkah-langkah yang efektif bagi memastikan impak yang positif dan kejayaan yang berkekalan dari titah tersebut. Selangau mengambil maklum bahawa kerajaan telah melancarkan kerangka Ekonomi Madani pada bulan Julai 2023 yang lepas, dengan bermatlamat dan sasaran yang jelas iaitu menjadi peneraju ekonomi Asia dan meningkatkan darjat kehidupan rakyat.
Tuan Edwin anak Banta - Selangau
Namun, sehingga kini pelan tindakan serta pelaksanaan masih belum jelas. Melihat kepada keadaan dan petunjuk ekonomi semasa Malaysia berada dalam landasan yang baik untuk terus mencatatkan pertumbuhan ekonomi seperti mana yang diharapkan. Namun begitu, apakah faedahnya jika petunjuk-petunjuk tadi hanya menunjukkan catatan yang baik di atas kertas sahaja. Namun, kesan kebaikannya tidak sampai ke rakyat kebanyakannya.
Dato’ Yang di-Pertua, rakyat masih berhadapan dengan kos sara hidup yang meningkat. Tinjauan Ekonomi 2024 yang diterbitkan oleh Kementerian Kewangan juga mengakui bahawa kos sara hidup dan kadar simpanan serta gaji yang rendah sudah berlaku sebelum pandemik lagi dan keadaan masa kini terus membimbangkan dan akan menghalang usaha pemulihan isi rumah.
Cadangan kerajaan untuk menaikkan kadar perkhidmatan daripada lapan peratus berbanding enam peratus sekarang dijangka akan memberi kesan langsung kepada peniaga dan rakyat. Pemulihan ekonomi merupakan satu tugas yang kompleks dan memerlukan libat urus bersama pemegang taruh dan tidak boleh dilaksanakan oleh satu, dua kementerian sahaja.
Golongan bijak pandai, cendekiawan-cendekiawan, pakar ekonomi dan komuniti peniagaan perlu dilibatkan bersama untuk memastikan keberkesanan langkah-langkah yang diambil. Sebagai contoh, Kerajaan Negeri Sarawak dalam melopori dan meneroka potensi gas hidrogen wajar dipertimbangkan. Usaha berterusan Kerajaan Negeri Sarawak terutamanya dalam bidang perniagaan karbon atau carbon trading dengan izin dan carbon capture, utilisation and storage (CCUS) wajar dicontohi.
Dato’ Yang di-Pertua, saya dengan tulus ikhlas menyambut baik saranan yang telah dizahirkan oleh Yang di-Pertuan Agong mengenai pentingnya perpaduan di kalangan masyarakat. Dalam konteks masyarakat yang berbilang kaum seperti di Malaysia, perpaduan adalah lebih daripada sekadar idea. Ia adalah satu matlamat yang harus dikejar bersama dan setiap rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang etnik atau kepercayaan agama.
Namun, walaupun kita berbicara tentang perpaduan masih terdapat keadaan di mana stereotaip dan prasangka etnik wujud. Contohnya, kejadian di mana orang Sarawak di hina atau dilecehkan atas aspek-aspek kebudayaan seperti pakaian tradisional Iban iaitu Ngepan Iban yang disifatkan sebagai tidak cantik.
Ini adalah contoh yang menunjukkan bahawa ada kekurangan pemahaman dan penghargaan terhadap kepelbagaian budaya dan warisan di negara kita. Oleh itu, adalah tanggungjawab kita sebagai pemimpin untuk berusaha lebih keras untuk memahami keadaan dan keperluan masyarakat di Sarawak dan Sabah serta memastikan bahawa setiap suara dengan kepentingan diberi yang sewajarnya dalam agenda pembangunan negara.
Dato’ Yang di-Pertua, saya juga ingin menarik perhatian Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat akan penyertaan kaum Dayak dalam dasar-dasar kerajaan.
Peluang yang setara bagi kaum Dayak yang berkelayakan adalah suatu keperluan yang tidak boleh diabaikan. Mengambil contoh daripada pengumuman oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri baru-baru ini, semasa Kongres Ekonomi Bumiputera 2024, di mana bantuan pada bumiputera menjadi fokus utama.
Adalah penting untuk mengakui bahawa masyarakat Dayak memerlukan perhatian khusus. Dengan memberi perhatian khusus kepada masyarakat Dayak dalam rangkaian inisiatif bantuan bumiputera, kita tidak hanya memberi peluang yang lebih besar kepada mereka untuk berkembang dalam bidang perniagaan tetapi juga menyumbang kepada pembangunan ekonomi yang lebih inklusif dan seimbang di Sarawak dan Malaysia khasnya.
Ini adalah langkah progresif yang tidak hanya memperkuatkan integrasi sosial, tetapi juga mencerminkan komitmen yang sejati terhadap keadilan dan kesaksamaan dalam masyarakat.
Usaha-usaha pembangunan di Sarawak dan Sabah juga perlu dipergiatkan, manakala peruntukan pembangunan kepada negeri-negeri ini perlu diutamakan selaras dengan perjanjian MA63. Ini bagi memastikan kesaksamaan dan juga keterangkuman kepada rakyat di kedua-dua negeri tersebut di samping memastikan bahawa apa yang dinikmati oleh rakyat di Sabah dan Sarawak adalah setimpal dengan apa yang dinikmati oleh rakyat di Semenanjung Malaysia.
Tuan Edwin anak Banta - Selangau
Selain itu, isu mengenai janji untuk — Dato’ Yang di-Pertua, saya ingin menarik perhatian kementerian yang berkaitan mengenai beberapa perkara seperti berikut. Terdapat beberapa isu yang memerlukan perhatian serius di Parlimen Selangau yang masih belum mendapat penjelasan yang memuaskan sehingga kini.
Salah satu isu yang menghadirkan kebimbangan adalah kekurangan maklumat mengenai berkaitan dengan Loji Air Selangau iaitu Loji Air Stapang dan Loji Air Sekuau.
Meskipun diumumkan pada tahun 2016 bahawa projek-projek ini akan dilaksanakan, namun sehingga sekarang masih tiada khabar berita atau perkembangan yang disampaikan kepada penduduk tempatan, semenjak pengumuman tersebut.
Selain itu, isu mengenai janji untuk menurap jalan dari Nanga Kelebu ke Rumah Ado dan menaik taraf Jalan Kakus ke Long Beyak juga merupakan perkara yang sangat penting untuk diselesaikan. Kedua-dua projek ini memainkan peranan yang penting dalam meningkatkan perhubungan dan ketersambungan masyarakat setempat terutamanya bagi masyarakat Dayak, Iban, Orang Ulu Punan, Orang Ulu Beketan, Orang Ulu Kenyah dan sebagainya yang berada di dalam kawasan pedalaman.
Namun, sayangnya walaupun janji untuk melaksanakan penurapan jalan ini telah dibuat sejak 2016, tiada tindakan yang jelas telah diambil sehingga kini. Kelewatan dan penyelesaian projek-projek ini juga menjejaskan perhubungan ekonomi dan sosial di kawasan-kawasan terperinci tersebut.
Isu pengangkutan dan akses ke bandar adalah satu lagi cabaran serius yang perlu diberikan perhatian di Parlimen Selangau. Pada masa ini penduduk di tiga buah rumah panjang di Ulu Mukah menghadapi kesukaran dalam akses keperluan asas dan perkhidmatan di Pekan Selangau. Mereka terpaksa bergantung kepada perahu, satu-satunya cara untuk menghubungi pekan tersebut untuk menjalankan urusan harian, menghantar anak-anak ke sekolah dan menjual hasil kebun mereka.
Amatlah tidak wajar pada tahun 2024 ini masih wujud keadaan di mana rakyat hanya dapat mengakses sesuatu kawasan dengan hanya menggunakan laluan sungai sahaja.
Keadaan ini menunjukkan wujudnya keperluan untuk menaik taraf jalan balak dan jambatan balak atau pembangunan baru infrastruktur jalan raya dan jambatan di kawasan-kawasan terpencil seperti Ulu Mukah, Ulu Anap dan Ulu Oya Pakoh.
Selain itu, pembangunan infrastruktur yang efektif juga akan membuka peluang ekonomi baharu dan meningkatkan perhubungan di antara kawasan luar bandar dan bandar, yang pada akhirnya akan membantu...
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Yang Berhormat sila gulung.
Tuan Edwin anak Banta - Selangau
...Penubuhan sosial ekonomi dan meningkatkan kualiti hidup penduduk setempat. Dato’ Yang di-Pertua, can I have dua minit lagi?
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Ramli bin Dato’ Mohd Nor
All right.
Tuan Edwin anak Banta - Selangau
Terima kasih. Kegagalan projek-projek.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Yang Berhormat, saya akan berhentikan bila waktu saya beri.
Tuan Edwin anak Banta - Selangau
All right, thank you. Terima kasih. Kegagalan projek-projek perladangan FELCRA di Pasai Bon, Pasai Siong dan Sekuau di Parlimen Selangau juga menjadi satu isu yang memerlukan perhatian segera. Projek-projek ini sepatutnya menjadi punca pendapatan tambahan dan kemakmuran bagi penduduk setempat. Namun sayangnya, hasil yang dicapai amat tidak memuaskan. Oleh itu, langkah- langkah yang berkesan perlu diambil untuk menangani isu ini.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Ramli bin Dato’ Mohd Nor
30 saat Yang Berhormat.
Tuan Edwin anak Banta - Selangau
All right.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Minta maaf ya kerana waktu kekangan.
Tuan Edwin anak Banta - Selangau
Tak apa. All right. Di kesempatan ini juga saya ingin memohon beberapa perkara penting yang seperti berikut yang saya harap kementerian dan agensi berkaitan dapat mempertimbangkan dengan segera.
Satu, Selangau pada masa ini amat memerlukan bantuan dari kerajaan khususnya Kementerian Pertanian untuk menguasakan tanah terbiar yang ada. Peluang kerjasama boleh diterokai bagi meningkatkan aktiviti pertanian meneroka kaedah-kaedah dengan memaksimumkan penggunaan tanah yang terbiar sama ada melalui program bantuan dalam pembenihan, penyediaan infrastruktur pertanian moden atau penyediaan latihan dan bimbingan kepada petani-petani tempatan. Saya juga memohon jika boleh dipertimbangkan supaya teknologi-teknologi moden dibawa ke Selangau dan dijadikan pilot projek sebelumnya yang diperluaskan di kawasan-kawasan lain.
Saya juga memohon pertimbangan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk mendirikan rumah anjung rehat bagi pesakit dialisis yang memerlukan tempat penginapan selepas menjalani rawatan di Selangau...
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Yang Berhormat.
Tuan Edwin anak Banta - Selangau
Pesakit dialisis sering kali memerlukan bantuan penginapan apabila mereka tidak dapat pulang ke kampung mereka yang jauh selepas proses rawatan.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Terima kasih Yang Berhormat.
Tuan Edwin anak Banta - Selangau
All right.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Landing.
Tuan Edwin anak Banta - Selangau
Dato' Speaker, sekian dan terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Terima kasih Yang Berhormat.
Tuan Edwin anak Banta - Selangau
Selangau memohon menyokong Titah Diraja.
Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Baik. Saya terpaksa keras sikit tentang waktu kerana...
Tuan Edwin anak Banta - Selangau
Ya. Faham.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Ramli bin Dato’ Mohd Nor
... Tidak ada usul pada hari ini. Hanya 5.30 dan ada lebih kurang 10 lagi. Satu, dua, tiga, empat, masa kekang.
Tuan Edwin anak Banta - Selangau
Tak apa.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Kalau tidak, makin kurang ini. Banyak. Terima kasih.
Tuan Edwin anak Banta - Selangau
Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Dipersilakan Yang Berhormat Sabak Bernam.
Tuan Kalam bin Salan - Sabak Bernam
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, selamat sejahtera. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Pada kesempatan ini, Sabak Bernam ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah serta menjunjung kasih Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sempena pembukaan Mesyuarat Pertama, Penggal Ketiga, Parlimen Ke-15 baru-baru ini.
Tuan Yang di-Pertua, izinkan Sabak Bernam untuk memetik isu-isu dan permasalahan tempatan terlebih dahulu kerana bimbang tak cukup masa. Tuan Yang di-
Tuan Kalam bin Salan - Sabak Bernam
Pertua, masalah yang pertama ialah masalah lembu berkeliaran. Sabak Bernam sedar buat masa ini rata-rata penternak mengamalkan dua kaedah atau tata kelola dalam menternak lembu.
Pertama, mereka membina kandang dan menempatkan ternakan mereka dalam kandang sepanjang masa dan memberi makanan berupa rumput semula jadi atau dedak yang diimport. Kaedah atau tata kelola seperti ini tidak menimbulkan masalah kepada orang ramai.
Sementara kaedah ataupun tata kelola yang kedua, yang ini ada masalah Yang di- Pertua iaitu dengan melepaskan ternakan mereka secara bebas dan terbuka. Sesekali sahaja mereka datang memantau dan ada juga yang mengikat ternakan mereka dan ditambat pada sebatang tiang dan dicacakkan di bahu jalan raya...
Tuan Mohd Sany bin Hamzan - Hulu Langat
Sabak Bernam. Tanya sikit boleh?
Ini bukan salah DAP ya.
[Ketawa]
Tuan Kalam bin Salan - Sabak Bernam
Atas tanah rizab jalan raya atau tanah rizab JPS. Masalahnya apabila musim tengkujuh, struktur tanah menjadi lembap dan longgar.
Tiang tadi mudah tercabut dan diheret ke sana ke mari oleh lembu, siang dan malam dan menyebabkan banyak kemalangan yang menyebabkan kecederaan, kecacatan sepanjang hayat dan ada yang meninggal dunia. Kawanan ternakan haiwan ini juga sering berada di tepi jalan, tengah jalan, di hujung jalan pada waktu malam dan menyebabkan kemalangan juga.
Alasan penternak ialah mereka tidak mampu menyediakan padang ragut. Mereka tidak mampu membina kandang dan apatah lagi untuk menghidangkan makanan haiwan seperti rumput ataupun makanan dedak yang diimport kerana kosnya terlalu tinggi.
Apabila berlaku kemalangan, kita buat aduan kepada pihak berkuasa, polis, majlis daerah, pejabat daerah, jabatan veterinar, pengerusi JKK, ketua kampung. Mereka memberi perkhidmatan dan kerjasama yang baik, tetapi masalah ini terus terjadi kerana tiada peruntukan undang-undang yang jelas untuk mengatasi masalah ini di peringkat daerah, negeri ataupun nasional.
Masalah ini sudah jadi macam lagu, “bangau oh bangau”.
Seorang Ahli
Nyanyi sikit. Nyanyi sikit.
Tuan Kalam bin Salan - Sabak Bernam
Tapi ini lembu.
[Ketawa] Okey. “Lembu oh lembu, kenapa merayau-rayau?” [Ketawa] “Macam mana tak merayau-rayau, penternak tak buatkan kandang. Tak sediakan makanan. Tak ada dedak. Penternak oh penternak, kenapa tak sediakan kandang? Macam mana aku nak sediakan kandang, bajet tak ada.” [Ketawa] “Kos tinggi, barang mahal.” “Barang oh barang, kenapa kau mahal? Macam mana aku tak mahal, nilai ringgit jatuh.” [Ketawa] “Ringgit oh ringgit, kenapa engkau jatuh? Sekali Menteri Kewangan jawab, nak tahu ringgit jatuh? Tanya Gabenor Bank Negara.” [Ketawa] Tuan Yang di-Pertua, oleh kerana isu ini berlaku di mana-mana seluruh negara, ini masalah nasional. Maka saya mencadangkan setiap ternakan lembu yang lahir mesti didaftarkan supaya pihak berkuasa tahu siapa pemiliknya. Jika mereka berlaku kemalangan, kita rujuk sahaja kepada penternak. Contohnya saya ada bela lembu, saya daftarkan kelahiran anak lembu saya. Kodnya 001, saya ada 100 ekor. Semuanya kod 001, tampal dekat telinga. Makna kalau terlanggar, cari saya, dakwa saya.
Kedua, buat dan kuatkuasakan undang-undang atau akta yang seragam di seluruh negara khusus untuk menangani masalah haiwan ternakan berkeliaran dan terpakai di semua negeri di Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak. Tolong jangan pinggirkan Sabah dan Sarawak. Kesian saya. Contoh Majlis Bandaraya Ipoh, terdapat dua undang-undang utama dirujuk sebagai panduan kepada jabatan penguatkuasaan dan pelesenan iaitu Undang- undang Kecil Pelesenan Haiwan Ternakan dan Haiwan Merayau 2014 dan Undang-undang Kecil Pelesenan Anjing (MBI) 1987 (Pindaan) 1990.
Cadangan yang ketiga daripada Sabak Bernam, negara kita ini mengimport daging daripada jumlah yang banyak untuk pasaran domestik sedangkan ramai penternak dan haiwan ternakan dalam negara ini terbiar dan tidak diurus dengan baik sampai terlanggar mati tengah jalan.
Tuan Kalam bin Salan - Sabak Bernam
Mengapa tidak lembu-lembu yang sudah cukup umur ini disembelih dan diproses untuk dipasarkan di pasaran tempatan untuk mengurangkan kebergantungan kita kepada daging import? Jika perlu tubuhkan syarikat milik kerajaan, GLC untuk menjadi pemegang taruh, tanggungjawab seperti ini atau luaskan peranan Lembaga Pertubuhan Peladang turut serta dalam industri ini. Walaupun LPP memang sudah terlibat selama ini, tetapi perlu diperkasakan lagi bagi memastikan daging ternakan tempatan diberi keutamaan untuk pasaran tempatan berbanding daging yang diimport, sekali gus ini dapat mengurangkan populasi lembu-lembu yang diternak secara terbuka.
Tuan Yang di-Pertua, pada tahun lepas Yang Berhormat Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan melawat turun ke sawah padi Sabak Bernam. Kami amat berbesar hati kerana kunjungan YB Menteri. Dalam kunjungan tersebut, petani dapat memaklumkan permasalahan yang dihadapi oleh mereka sebagai penanam padi, tetapi hasil tuaian padi pada tahun ini masih juga merosot.
Jadi, apakah sebenarnya tindakan kerajaan terutamanya Yang Berhormat Menteri turun ke kawasan tempoh hari? Bagaimanakah maklumat-maklumat yang didapati daripada petani itu ditangani oleh Yang Berhormat Menteri Pertanian?
Tuan Yang di-Pertua, tahniah saya ucapkan dan terima kasih kepada Yang Berhormat Menteri Pelancongan kerana memberikan kad ucapan Tahun Baru Cina yang lepas walaupun di luar persidangan dan menghantar sumbangan hadiah tahun baru.
Tuan Kalam bin Salan - Sabak Bernam
Terima kasih Yang Berhormat Menteri. Industri pelancongan adalah antara penyumbang pendapatan negara yang agak besar jumlahnya. Kerajaan patut sedar trend pelancongan dan rekreasi rakyat Malaysia kini mula beralih kepada pelancongan berkonsepkan kenderaan rekreasi seperti motorhome, caravan dan campervan. Saya mohon Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) mengusahakan sesuatu agar KPKT atau lain-lain pihak atau lain-lain kementerian membina tapak kenderaan rekreasi yang lengkap di setiap daerah bagi merancakkan industri ini.
Dengan adanya kemudahan ini nanti, boleh menarik perhatian pelancong luar untuk datang ke negara kita menggunakan kenderaan rekreasi yang mereka ada. Saya juga mohon supaya pihak bank di negara ini memberikan kemudahan sewa beli untuk kenderaan seperti ini, sepertimana sewa beli kereta.
Tuan Yang di-Pertua, demi kesejahteraan saya kepada raja dan negara, kesetiaan saya kepada Raja-Raja Melayu, izinkan patik memanjatkan doa agar Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong diberikan kesejahteraan memerintah negara Malaysia ini. Begitu juga dengan kesejahteraan sekalian rakyatnya.
[Membaca sepotong doa] Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar Alhaj. [Membaca sepotong doa] Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofea ibni Almarhum Sultan Idris Shah Alhaj.
[Membaca sepotong doa] “Ya Allah, jadikanlah kami di antara hamba-Mu yang menjaga amanah, kuatkan iman kami agar menjauhi perbuatan khianat, serta jauhkan kami daripada termasuk dalam golongan orang-orang yang mengabaikan tanggungjawab dan jauhi negara kami daripada kehancuran disebabkan perbuatan rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa. Serahkan tanggungjawab memimpin negara kami kepada hamba-Mu yang amanah, jujur serta tegas lagi berani menegakkan kebenaran dan melaksanakan keadilan berlandaskan syariat.” [Membaca sepotong doa] Tuan Yang di-Pertua, Sabak Bernam mohon menyokong.
Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato' Ramli bin Dato' Mohd Nor
Terima kasih Yang Berhormat Sabak Bernam. Dipersilakan Yang Berhormat Pulai.
Tuan Suhaizan bin Kaiat - Pulai
Bismillahi Rahmani Rahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam sejahtera, salam Madani.
Dato' Timbalan Speaker, Pulai menjunjung kasih mengucap setinggi tahniah kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar yang dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong yang baru. Pulai menjunjung kasih kepada Al-Sultan Abdullah ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah, Sultan Pahang yang telah sempurna menggalas tugas sebagai Yang di-Pertuan Agong.
Pada penghujung Januari 2024, seramai 186,490 pelarian dan pencari suaka yang berdaftar dengan UNHCR di Malaysia. Daripada jumlah tersebut, 108,310 orang adalah pelarian Rohingya.
Di Parlimen Pulai, pelarian Rohingya ini telah menempatkan diri mereka di kawasan- kawasan setinggan yang ditinggalkan oleh penduduk tempatan yang telah berpindah ke PPR.
Lebih daripada 200 keluarga Rohingya tinggal di kawasan setinggan ini. Mereka membuka penempatan Rohingya dengan bekalan air, elektrik, ada kedai runcit, kedai makan dan madrasah tanpa sebarang sekatan.
Mereka bebas bergerak dan mempunyai kenderaan yang sendiri. Mereka boleh membuang sampah sesuka hati, terutamanya di kawasan sungai yang berdekatan.
Kehadiran mereka mengancam kehidupan rakyat di negara ini. Sebagai contoh, pada 23 Disember 2023, tiga orang penjenayah Rohingya telah ditembak mati di Selayang Jaya.
Mereka disyaki terlibat dalam 50 kes jenayah pecah rumah di enam buah negeri. Pelarian UNHCR ini sepatutnya diserahkan kepada negara ketiga, bukannya tinggal selama-lamanya dalam negara kita.
Oleh kerana tiada negara pihak ketiga yang sanggup menerima mereka, maka Malaysia dengan penuh ihsan menerima mereka ini. Pulai berpandangan kerajaan tiada dasar dan panduan yang jelas menguruskan pelarian UNHCR ini yang menyebabkan ketidakselesaan rakyat.
Justeru, perlu ada satu peraturan yang jelas, menguruskan mereka agar tidak mengganggu keharmonian dan kesejahteraan rakyat dalam negara ini. Pulai juga sebuah Parlimen yang sangat padat penduduknya 4,000 orang dalam satu kilometer persegi, tentulah isu-isu perumahan ini menjadi isu utama, terutamanya masalah rumah pangsa ini.
Terdapat banyak masalah yang berkaitan dengan rumah pangsa ini. Ada satu buah rumah pangsa itu oleh kerana masalah pecahnya saluran paip di kawasan mereka, tunggakan bil air sahaja sudah melebihi RM100 juta. Itu belum lagi masuk kenaikan tarif air pada 1 Februari 2024 ini.
Banyak lagi masalah. Masalah kumbahan najis, masalah cat, masalah kebocoran, masalah bangunan retak dan sebagainya. So, banyak masalah perumahan-perumahan ini yang berlaku di kawasan Parlimen Pulai ini.
Punca utama, Pulai melihat adalah masalah Management Corporation (MC) ini ataupun badan pengurusan rumah pangsa yang tidak dapat mengurus bangunan dengan sempurna. MC tiada kemahiran, tiada pengalaman, tidak mempunyai penguat kuasa untuk menguruskan bangunan yang mempunyai ramai penghuni ini. Ruang ini telah diambil oleh mereka yang tidak bertanggungjawab, khususnya pemilik dan penyewa yang ingkar membayar sinking fund, bayaran yuran dan komitmen-komitmen yang lain. So, secara puratanya 30 peratus mereka tidak membuat bayaran ini.
Pulai berpandangan masalah ini juga dirasai di seluruh negara. Pulai menyokong saranan Ampang untuk kerajaan mewujudkan satu akta untuk membenarkan pihak PBT menguruskan rumah pangsa yang bermasalah ini.
Bagi rumah pangsa yang tiada masalah, tiada isu. Tetapi yang bermasalah perlu diuruskan ini. Bermaksud bahawa PBT mempunyai kuasa menguatkuasakan undang-undang mengutip yuran selenggara (sinking fund) dan melantik FM di kawasan tersebut. Pulai berpandangan, ini ialah satu cara menguruskan rumah-rumah pangsa yang bermasalah ini.
Tuan Suhaizan bin Kaiat - Pulai
Negara kita dikejutkan dengan penemuan mineral baru yang dianggap sebagai vitamin terhadap teknologi masa kini. Nadir bumi ataupun NR-REE yang bernilai RM810 bilion. Nadir bumi ini adalah unsur yang diperlukan oleh dunia dalam meneroka teknologi hijau bagi menangani perubahan cuaca dan penggunaan tenaga alternatif.
Sebagai contoh, teknologi kereta hibrid bergantung sepenuhnya kepada bahan nadir bumi ini. Kerajaan perlu membangunkan secara holistik bermula daripada upstream, midstream dan downstream. Ini kerana pengeluaran nadir bumi mentah dilombong secara REE Carbonate hanya menyumbang 20 peratus daripada value chain of REE.
Ia akan meningkat kepada 50 peratus, jika sekiranya diproses kepada REE oxides.
Rantaian industri REE akan meningkat kepada 100 peratus apabila pusat pemprosesan REE carbonate kepada REE oxides diwujudkan untuk membolehkan negara memiliki hasil separa siap bagi tujuan pembuatan industri magnet.
Tuan Suhaizan bin Kaiat - Pulai
Pulai mencadangkan agar satu polisi baru berkaitan industri nadir bumi diwujudkan secara lebih holistik dengan melibatkan semua agensi termasuklah penglibatan negeri- negeri. Kesilapan dalam menguruskan sumber ini bukan sahaja menjejaskan sumber pendapatan negara untuk masa kini tetapi juga akan menjejaskan potensi negara pada masa akan datang.
Tuanku Sultan Ibrahim telah bertitah untuk semua masyarakat supaya memperkukuhkan perpaduan negara. Saya hadir dalam satu Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 yang telah diadakan baru-baru ini. Tahniah kepada MARA sebagai penganjur yang telah membawa budaya inklusif dalam penganjurannya.
Bagi mencapai perpaduan yang kukuh seperti titah tuanku, maka kaum bumiputera perlu mendapat agihan ekonomi yang saksama. Jika tidak, maka segala prasangka antara kaum mudah disemarakkan dan menghasilkan perpecahan. Pencapaian bumiputera dalam sektor ekonomi masih sangat lemah.
Pendapatan isi rumah kasar bulanan menengah mengikut etnik 1989-2022 menunjukkan pekerja bumiputera memperolehi gaji 29 peratus lebih rendah daripada pekerja masyarakat kaum Tionghoa dan telah disebut oleh Menteri tadi, antaranya adalah kelemahan-kelemahan berkaitan dengan perniagaan kaum bumiputera ini. Yang lebih membimbangkan hanya satu syarikat bumiputera sahaja daripada 97 syarikat yang disenaraikan di Bursa Saham Malaysia sejak tiga tahun yang lepas.
Data ini membuktikan terdapat jurang yang membimbangkan antara bumiputera dan bukan bumiputera. Bagi mencapai keharmonian perpaduan rakyat dalam negara ini, maka kerajaan disaran untuk merangka dasar untuk mencapai kesaksamaan ekonomi. Kerajaan pernah memperuntukkan 1.7 trilion dalam masa 25 tahun dalam bentuk kontrak kerajaan tapi, masih tetap gagal.
Kerajaan Madani tidak boleh mengulangi kesilapan ini. Kajian terhadap kegagalan ini perlu dibuat untuk merangka dasar yang lestari bagi mengekalkan perpaduan dalam negara.
Menteri juga sebut tadi bahawa fokusnya adalah untuk membangunkan kumpulan menengah ini.
Kumpulan menengah ini, mereka adalah kumpulan yang telah establish dalam pekerjaan mereka. Sukar juga untuk mereka menumpukan perniagaan pada peringkat umur yang telah 40-50 tahun ini. So, bagi memupuk budaya ini kepada kita, kepada Pulai, satu yang penting adalah jiwa mereka ini harus dibangunkan untuk menjadi peniaga ini bagi memupuk budaya peniaga di kalangan bumiputera. Pulai mencadangkan diwujudkan Pusat Kecemerlangan Budaya Peniaga Bumiputera Madani.
Terakhir Tuan Speaker, sejak menjadi jiran kepada Jelutong ini, dia minta saya bertanya saya tentang istilah-istilah Islam ini, termasuklah apa dia kata, Khawarij ini ya.
Ringkasnya Khawarij ini adalah bermula daripada kewafatan Sayidina Uthman. Kaum Muslimin mengangkat Sayidina Ali sebagai Khalifah. Tetapi, malangnya Muawiyah bin Abu Sufyan ini sebagai Gabenor Syam yang berpengaruh tidak setuju dan menghasilkan satu Peperangan Siffin. Untuk berdamai, masing-masing pihak mengirim utusan untuk berunding.
Akhirnya, beberapa Peperangan Siffin ini berakhir dengan perdamaian.
Tuan Suhaizan bin Kaiat - Pulai
Kumpulan ─ berdamai itu bagus tetapi ada satu kumpulan pelampau yang menolak perdamaian ini dikenali sebagai Khawarij.
Tuan Haji Mohd Misbahul Munir bin Masduki - Parit Buntar
Penjelasan.
Tuan Suhaizan bin Kaiat - Pulai
Mereka berpandangan, Ali dan Muawiyah ini melanggar perintah Allah dan wajib dibunuh.
Tuan Haji Mohd Misbahul Munir bin Masduki - Parit Buntar
Pulai. Hendak betulkan sikit statement itu.
Tuan Suhaizan bin Kaiat - Pulai
Khawarij merancang membunuh Ali dan Muawiyah. Akhirnya, terbunuhlah Sayidina Ali dan Khawarij.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Yang Berhormat Parit Buntar, duduk. 37(2).
Tuan Suhaizan bin Kaiat - Pulai
Kalau ada masa. Ya, silakan. Dia bagi masa, dah habis pun.
Tuan Haji Mohd Misbahul Munir bin Masduki - Parit Buntar
Hendak betulkan.
Bukan zaman Uthman. Zaman Sayidina Ali.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Yang Berhormat, jangan degil. Duduk. Teruskan.
Tuan Suhaizan bin Kaiat - Pulai
Ciri-ciri ringkas puak Khawarij ini adalah pertamanya suka mencela dan menganggap sesat.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Duduk Yang Berhormat.
Tuan Suhaizan bin Kaiat - Pulai
Sifat yang paling nampak dari Khawarij adalah suka mencela para pemimpin, menganggap mereka sesat dan menghukum mereka sebagai orang-orang yang sudah keluar daripada keadilan dan kebenaran.
Keduanya, berprasangka buruk, melabelkan orang lain dengan pelbagai sangkaan buruk.
Ketiga adalah berlebihan dalam beribadah. Berlebih dalam ibadah ini bagus tetapi berlebihan daripada group ini sebahagian yang masyhur di kalangan orang-orang Khawarij walaupun rajin dalam beribadah tetapi ibadah ini tidak bermanfaat kepada mereka.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Yang Berhormat 15 saat.
Tuan Suhaizan bin Kaiat - Pulai
Berlebihan beribadah sehingga beranggapan dia lah yang lebih suci daripada orang lain dan tapi perlu diingatkan bahawa bukan semua yang kuat beribadah itu adalah Khawarij. Dalam kita bersemangat memperjuangkan Islam ini, janganlah sampai kita terjebak dalam kumpulan Khawarij ini.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Yang Berhormat.
Tuan Suhaizan bin Kaiat - Pulai
Maka itu, Pulai menyokong Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar. Sekian. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Terima kasih, Yang Berhormat Pulai. Dipersilakan Yang Berhormat Machang.
Tuan Wan Ahmad Fayhsal bin Wan Ahmad Kamal - Machang
Bismillahi Rahmani Rahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Tuan Yang di-Pertua, sebagai rakyat yang taat setia dan diamanahkan untuk membawa suara rakyat Malaysia, khususnya warga Machang dan Kelantan. Patik merafak sembah Kebawah Duli Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang ke-XVII Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar atas titah yang disampaikan kepada Majlis Parlimen yang mulia ini.
Tuan Wan Ahmad Fayhsal bin Wan Ahmad Kamal - Machang
Saya juga ingin merakamkan ucapan dan sembah setinggi-tinggi penghargaan kepada Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah atas khidmat bakti yang cemerlang baginda zahirkan sewaktu menjadi Yang di- Pertuan Agong.
Tuan Yang di-Pertua, tahun ini adalah tahun di mana negara, khususnya rakyat sedang berdepan dengan situasi yang amat mencemaskan. Pada suku terakhir tahun lalu, ekonomi kita hanya berkembang sebanyak tiga peratus. Ini amatlah mengecewakan kerana momentum pada hujung tahun 2022 sewaktu Perikatan Nasional masih memerintah masih amat kuat. Buktinya ialah purata pertumbuhan ekonomi sepanjang 2022 adalah 3.7 peratus.
Selain itu, laporan Bank Negara, DOSM melaporkan pelaburan asing bersih bagi tahun lalu merosot 47.1 peratus di bawah Kerajaan Madani dan ia terus menjunam dari segi nilai eksport, merosot sebanyak lapan peratus pada tahun lalu.
Tatkala, nilai ringgit mencapai tahap tercorot dalam sejarah berbanding Dolar Amerika dan Dolar Singapura. Sewaktu ekonomi perlahan, kita sepatutnya menyuntik lebih banyak dana untuk memacu ekonomi. Namun, kerajaan yang bankrap idea dan bankrap tunai ini menaikkan pula SST, cukai keuntungan modal, cukai transaksi dalam talian, rasionalisasi tarif elektrik dan lain-lain. Ini berpotensi menyebabkan ekonomi bergerak semakin perlahan.
Ada juga yang kata ringgit yang lemah boleh membantu meningkatkan eksport. Ini juga tahyul yang dijual oleh Menteri Pelaburan dan Perdagangan kita.
Tahun lepas, ringgit jatuh, eksport juga jatuh lapan peratus. Semalam, kita dikejutkan dengan memorandum dalaman Goodyear Malaysia, kilang di Shah Alam yang bertapak 50 tahun bakal gulung tikar.
[Sambil menunjukkan senaskhah dokumen] Goodyear dah jual tayar dekat Malaysia sebelum Malaysia wujud lagi pada tahun 1929. Tadi saya baru baca laporan media Iron Lady kita Tan Sri Rafidah Aziz, mantan Menteri Pelaburan Perdagangan Antarabangsa bercakap, kejadian ini Goodyear terpaksa keluar ini, sepatutnya menjadi tanda tanya kepada Kerajaan Madani yang ada pada hari ini.
Apabila Raja Formula sudah senyap, kita ingat bolehlah cari penyelesaian tetapi bos dia pula jual formula lain, kononnya kenaikan cukai tidak membebankan rakyat. Ini juga tahyul. Semua cukai yang diperkenalkan oleh Kerajaan Madani kini membebankan rakyat.
Saya ambil contoh berkenaan dengan import masuk barangan makanan dari luar.
Cukai port operator charges enam peratus tambahan. Liner local charges enam peratus tambahan. Warehouse charges enam peratus tambahan. Forwarding charges enam peratus tambahan. Freight forwarder charges enam peratus tambahan. Transport charges enam peratus tambahan.
Kerajaan janji kepada rakyat, barang makanan tidak kena SST. Tapi, rantaian bekalan makanan hendak sampai ke meja anak, isteri kita semua kena SST. Compounding effect, kesan berganda SST akan menaikkan harga makanan rakyat kebanyakan. Ini baru di Semenanjung, di Sabah Sarawak lagi tinggi kenaikan makanan.
Tuan Wan Ahmad Fayhsal bin Wan Ahmad Kamal - Machang
Jadinya, ditambah pula dengan ringgit yang lemah, ini menyebabkan inflasi mendadak. Hakikatnya Tuan Yang di-Pertua, hidup rakyat semakin sempit dan terpaksa ikat perut. Persoalannya, kenapa ekonomi makin melemah di bawah kerajaan pimpinan Tambun ini? Jawapannya mudah, kerajaan hari ini menguruskan ekonomi secara tidak cekap, tidak inovatif, tidak bertanggungjawab serta tidak berwawasan. Dengan kata lain, keyakinan ekonomi negara telah jatuh. Tata kelola sudah jadi tata ke laut. Apa tidaknya dilaung- laungkan slogan membela marhaen daripada pemangsaan sang maha kaya. Namun, tangannya memberi hibah kepada yang tidak memerlukan.
Saya bagi contoh, penjualan kereta elektrik yang dikecualikan cukai. Kalau setiap kereta elektrik ini dikecualikan cukai sebanyak RM100,000– buang cukai jualan, duti eksais, cukai jalan. Tahun lepas negara hampir jual 10,000 kereta. Jadi, kalau kita kira-kira pelepasan cukai kereta EV yang dibeli orang-orang kaya ini, hampir RM1 bilion nilainya, satu pertiga daripada sasaran kutipan SST yang– ini ambil dari rakyat marhaen ini.
Jadi kita kena faham kalau kerajaan nak promosi, nak galakkan orang pakai EV. Tak apalah, naiklah harga petrol, buat subsidi bersasar. Orang kaya boleh bayar tapi bila buat SST yang tidak kena pada tempatnya, rakyat merana kesan sampingan daripada itu.
Tuan Wan Ahmad Fayhsal bin Wan Ahmad Kamal - Machang
Bayangkan tuan-tuan. Bayangkan Tuan Yang di-Pertua, RM1 bilion pelepasan cukai ini boleh bagi sarapan percuma kepada anak-anak kita di sekolah rendah. Bayangkan Tuan Yang di-Pertua, mahasiswa kita boleh dapat pinjaman PTPTN atau biasiswa MARA dengan RM1 bilion pelepasan cukai ini. Rupa-rupanya kerajaan ini mencukai yang miskin untuk subsidi yang kaya. Model ekonomi songsang sebegini lah yang menyebabkan ekonomi negara cacamerba.
[Tepuk] Tuan Yang di-Pertua, walaupun kita dilarang bercakap tentang 3R, saya tetap nak sentuh 1R yang ini. Perdana Menteri kata jangan politikkan kejatuhan nilai ringgit dan beliau nampaknya tidak bimbang tentang ringgit. Ringgit telah pun jatuh secara drastik menghampiri paras terakhir yang penah dilihat sewaktu Tambun menjadi Menteri Kewangan dulu. Ringgit yang lemah memberi kesan kepada kita semua. Tak kira kerajaan ataupun pembangkang.
Kerana negara banyak import barangan dari luar, import makanan sahaja mencecah RM76 bilion pada 2022. Ringgit yang lemah akan menyebabkan kos yang lebih tinggi untuk bahan import. Digandingkan dengan cukai lebih tinggi, kuasa beli rakyat pasti berkurangan dan terjejas teruk.
Nasihat saya kepada Tambun dan anggota pentadbiran di sebelah sana, kita mesti jujur kepada rakyat. Jangan auta. Kalau kamu jujur dengan rakyat, rakyat boleh bersimpati dengan keadaan negara pada hari ini.
Tuan Yang di-Pertua, apa makna semua ini? Ini menunjukkan mereka yang mentadbir negara tidak memahami ekonomi. Tak tahu yang mana satu jantan, tak tahu yang mana satu betina, tak tahu yang mana yang satu di hadapan, tak tahu yang mana di belakang.
Walaupun mempunyai begitu banyak penasihat-penasihat, jawatan, jawatankuasa ekonomi, Kabinet dan sebagainya, harga beras pun Tambun pun tak boleh buat keputusan. Sudah pun jadi bahan jenaka buat rakyat di luar.
Tuan Yang di-Pertua, saya nak bagi nasihat pro bono kepada Tambun, berkenaan dengan keyakinan ekonomi. Yang pertama, kenyataan bercanggah merapu oleh Menteri- menteri tidak memberi keyakinan ekonomi. Melengah-lengahkan reformasi institusi, tidak memberi keyakinan ekonomi. Memberi pengampunan kepada banduan yang masih berdepan pertuduhan kes mahkamah, sampai diskaun beratus juta– tidak memberi keyakinan ekonomi. Mengambil orang yang terpalit dengan kes rasuah, salah guna kuasa...
Tuan Mohd Sany bin Hamzan - Hulu Langat
Machang.
Tuan Wan Ahmad Fayhsal bin Wan Ahmad Kamal - Machang
Menggugurkan kes dan pertuduhan.
Tuan Mohd Sany bin Hamzan - Hulu Langat
Machang.
Tuan Wan Ahmad Fayhsal bin Wan Ahmad Kamal - Machang
Tidak memberi keyakinan...
Tuan Mohd Sany bin Hamzan - Hulu Langat
Machang.
Tuan Wan Ahmad Fayhsal bin Wan Ahmad Kamal - Machang
...Ekonomi, duduk!
Tuan Mohd Sany bin Hamzan - Hulu Langat
Machang.
Tuan Wan Ahmad Fayhsal bin Wan Ahmad Kamal - Machang
This is my floor, duduk!
Tuan Mohd Sany bin Hamzan - Hulu Langat
Tak, kena tarik balik itu. Tuduh Perdana Menteri.
[Pembesar suara dimatikan]
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Duduk Yang Berhormat Hulu Langat. 37(1). Duduk.
Tuan Mohd Sany bin Hamzan - Hulu Langat
[Bercakap tanpa menggunakan pembesar suara] Speaker 36(6), sangkaan jahat.
Tuan Wan Ahmad Fayhsal bin Wan Ahmad Kamal - Machang
Nasihat kepada Perdana Menteri...
Tuan Mohd Sany bin Hamzan - Hulu Langat
36(6), Speaker.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Sila duduk.
Tuan Mohd Sany bin Hamzan - Hulu Langat
36(6). Dia sebut tadi itu, dia kata.
Mengampunkan. Yang mengampunkan itu bukan Perdana Menteri, yang mengampunkan itu Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Dia kena tarik balik ini. Ini sangkaan jahat ini.
Ini fitnah ini.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Ini petua saya, duduk. Duduk. Ini saya akan bagi petua. Saya akan bagi petua. Duduk, Yang Berhormat Hulu Langat.
Tuan Mohd Sany bin Hamzan - Hulu Langat
Okey, saya duduk Speaker.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Duduk, duduk. Baik, ini petua saya. Buka Peraturan 26. Buka Peraturan 27(3). Buka Peraturan 17. Buka Peraturan 18. Saya invoke 37(2), sila buat usul tentang apa ketidakpuasan Yang Berhormat di bawah perkara Peraturan 36(12) itu. Sekian, teruskan.
Tuan Wan Ahmad Fayhsal bin Wan Ahmad Kamal - Machang
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua yang bijaksana. Tuan Yang di-Pertua, saya nak landing dah. Saya nak kongsi Tuan Yang di-Pertua dengan Dewan yang mulia ini tentang kisah duka anak muda yang ada di kota pada ketika ini. Dia bawa motor menjadi penghantar makanan. Anak tiga orang, isteri duduk di rumah. Setiap hari dia keluar, dia akan cuba cari rezeki yang halal bagi keluarga.
Satu hari, isterinya berharap suaminya dapat bawa makanan yang sihat untuk anak-anak yang menunggu di rumah. ‘Bang, boleh tak abang bawa balik makanan tengah hari, makanan malam. Saya dapat– mahu bagi teh pada anak-anak pada hari ini’.
Satu hari itu Tuan Yang di-Pertua, bila dia pulang lewat malam, beliau pulang tangan kosong. Dengan penuh rasa hiba, isteri bertanya, ‘Bang, anak-anak dah tidur. Mereka lapar tapi saya tak mampu bagi apa pun makanan’. Beliau hanya keluar dari rumah dan terus menghilangkan diri.
[Bercakap dalam bahasa Arab] Berkatalah benar walaupun pahit.
Tuan Yang di-Pertua, Malaysia sedang berdepan dengan ketidakstabilan politik dan ekonomi...
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Yang Berhormat, gulung, 30 saat.
Tuan Wan Ahmad Fayhsal bin Wan Ahmad Kamal - Machang
Ekonomi kita tidak stabil, ringgit jatuh, harga barang naik, rakyat melara. Kalau kita tengok rakyat tuan-tuan, Tuan Yang di-Pertua, ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’, ‘malam berselimut embun, siang bertudung awan’. Tuan Yang di-Pertua, rakyat kecewa dengan Tambun.
Rakyat kecewa. Akhir kalam, sebagai rakyat yang taat setia, saya menjunjung kasih titah tuanku. Daulat Tuanku. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Terima kasih Yang Berhormat Machang. Berikut dipersilakan Yang Berhormat Batu Kawan.
Tuan Chow Kon Yeow - Batu Kawan
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Batu Kawan mewakili seluruh rakyat Pulau Pinang, mengucapkan terima kasih di atas peluang untuk mengambil bahagian dalam membahas Usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong semasa membuka Penggal Ketiga, Parlimen yang ke-15.
Sebagai pembuka kata, sekalung penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua agensi berkaitan yang telah bekerja keras untuk menarik kemasukan pelaburan ke negara kita, khasnya ke negeri Pulau Pinang. Syukur, Pulau Pinang terus berada pada landasan kukuh, apabila berjaya mencatatkan RM71.9 bilion dalam pelaburan diluluskan sepanjang tahun 2023.
Rekod tersebut telah meletakkan negeri Pulau Pinang pada kedudukan tertinggi, diikuti oleh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor, Johor dan Kedah. Ini menunjukkan bahawa para pelabur masih yakin dengan Malaysia, khasnya Pulau Pinang sebagai destinasi pilihan pelaburan unggul. Di Dewan yang mulia ini, Batu Kawan ingin menarik perhatian bahawa sebagai sebuah negeri kecil, Pulau Pinang masih mampu mengekalkan kedudukan
Tuan Chow Kon Yeow - Batu Kawan
kukuh sebagai penyumbang utama daripada jumlah pelaburan negara dan juga kekal sebagai pengeksport utama di Malaysia pada tahun 2023, dengan menyumbang 31.5 peratus daripada jumlah eksport negara.
Tuan Chow Kon Yeow - Batu Kawan
[Timbalan Yang di-Pertua (Puan Alice Lau Kiong Yieng) **mempengerusikan Mesyuarat****] Berlandaskan kepentingan ini, adalah wajar jaringan infrastruktur khasnya jalan raya, pengangkutan dan pembekalan sumber tenaga seperti air serta elektrik di Pulau Pinang dipertingkatkan.
Menyentuh aspek berkaitan. Pertamanya, saya ingin memohon projek air terawat Pulau Pinang dapat disegerakan kerana kita telah menunggu sejak tahun 2011 untuk pelaksanaan projek air yang bukan hanya memberi manfaat kepada negeri Pulau Pinang, sebaliknya juga kepada negeri-negeri Utara Semenanjung Malaysia. Adalah diharapkan perjanjian projek berkaitan dapat dimeterai dan dapat dilaksanakan pada tahun ini juga.
Kedua, berhubung isu kesesakan trafik yang mendesak di Lebuhraya Utara Selatan iaitu dari Tol Juru hingga Tol Sungai Dua. Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah mengemukakan permohonan berhubung pelaksanaan projek berkaitan kepada Kerajaan Persekutuan pada setiap tahun.
Malah, impaknya turut disedari sendiri oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri yang mengadakan lawatan ke negeri Pulau Pinang pada bulan yang lalu. Justeru, adalah wajar projek yang secara tidak langsung telah menjejaskan sektor industri dan turut memberi kesan kepada penduduk di negeri ini yang berulang alik dari bahagian pulau ke Seberang Perai dan sebaliknya diberikan kelulusan untuk pelaksanaan pada kadar yang segera.
Ketiganya, berhubung dengan Pelan Induk Pesisir Pantai Utara (North Seafront Masterplan) di George Town. Merangkumi 14 projek kemudahan projek kemudahan prasarana awam dan ruang sivik dengan kos keseluruhan RM140 juta yang dibiayai oleh kerajaan negeri, Majlis Bandaraya Pulau Pinang dan Think City Sdn. Bhd. Tujuh projek fizikal telah siap disempurnakan, manakala satu akan disiapkan pada tahun 2025.
Sehingga kini, untuk makluman Dewan yang mulia ini, hampir RM80 juta telah dibelanjakan oleh kerajaan negeri dan majlis bandaraya. Bagi projek di kawasan pesisir Pantai Timur pula, ia masih belum dimulakan dan masih di fasa perancangan. Kebanyakan tapak adalah di bawah pemilikan sebuah agensi persekutuan iaitu Penang Port Commission dan juga pemegang konsesi, Penang Port Sdn. Bhd.
Walau bagaimanapun, kerajaan negeri diwakili oleh George Town Conservation and Development Corporation serta MBPP iaitu majlis bandaraya sedia bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Pengangkutan, Penang Port Commission dan juga Railway Assets Corporation (RAC) bagi memastikan cadangan pembangunan di pesisir pantai Pulau Pinang adalah selaras dengan pelan induk dan juga rancangan kawasan khas yang disediakan dengan mengambil kira aspek serta ciri-ciri warisan sedia ada.
Dengan ini, kerajaan negeri ingin memohon kerjasama daripada agensi-agensi Kerajaan Persekutuan untuk mengadakan rundingan lanjut berhubung perkara berkaitan bagi mencapai status ataupun matlamat Sustainable Development Goals (SDG).
Kerajaan negeri lazimnya komited untuk mengadakan kerjasama berterusan berlandaskan inisiatif negara Madani, merangkumi aspek-aspek kemapanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan, ihsan dan rahmah adalah diharapkan dapat diterjemahkan dengan sebaik-baiknya khususnya dengan ikatan kerjasama negeri dengan Persekutuan.
Berlandaskan prestasi sama ada pada aspek pelaburan, pengeksportan, jumlah kutipan cukai, rekod pembayaran hutang negeri, Laporan Audit Negara dan lain-lain.
Kita bersyukur bahawa negeri ini berjaya mengekalkan kedudukan tersebut walaupun dalam tempoh pandemik dan juga di kala dunia menghadapi kemelesetan ekonomi. Dengan ini, adalah wajar sekiranya Pulau Pinang pohon supaya Kerajaan Persekutuan terus memberi perhatian kepada negeri kita. Lazimnya, Pulau Pinang tidak pernah menafikan bahawa usaha pembangunan ekonomi adalah memerlukan suntikan serta sokongan berterusan daripada Kerajaan Persekutuan.
Tuan Chow Kon Yeow - Batu Kawan
Justeru, perhatian dan kerjasama dalam meningkatkan keperluan serta jaringan infrastruktur serta projek-projek megah yang tergendala sebelum ini adalah amat diperlukan demi pembangunan masa depan negeri dan secara tidak langsung kepada negara Malaysia.
Dengan itu, sekian terima kasih.
Tuan Ahmad Tarmizi bin Sulaiman - Sik
Yang Berhormat, boleh Sik? Ada masa lagi dua minit.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Terima kasih Yang Berhormat Batu Kawan. Saya jemput Yang Berhormat Jasin.
Tuan Zulkifli bin Ismail - Jasin
Bismillahi Rahmani Rahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Tuan Yang di-Pertua, saya mengucapkan terima kasih atas peluang yang diberikan untuk terlibat sama di dalam perbahasan Titah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar. Semoga Allah memuliakan tuanku berdua di dunia dan akhirat.
Tuan Yang di-Pertua, di antara kesempurnaan Islam ialah sifatnya sebagai satu- satunya ajaran yang menyeru manusia seupaya menegakkan keadilan di dunia ini. Keadilan yang diserukan oleh Islam adalah keadilan Allah SWT yang tidak dipengaruhi oleh sebarang kepentingan diri, keluarga, bangsa, keturunan, kelas, majoriti dan segala sebab-sebab yang lain.
Ia adalah keadilan dalam pengertiannya yang sebenar, yang dikurniakan oleh Tuhan yang Maha Adil kepada manusia sebagai rahmat darinya. Menegakkan keadilan Allah SWT ini di kalangan manusia dan menghapuskan kezaliman serta penindasan bahkan perhambaan sesama manusia adalah menjadi antara kewajipan para anbia... [Membaca selawat] dan tujuan Islam diturunkan oleh Allah SWT kepada manusia.
Islam bukan semata-mata menyeru manusia kepada menegakkan keadilan dan kemudiannya membiarkan manusia itu mencari-cari bentuk keadilan yang diperlukan itu tanpa sebarang panduan. Sebaliknya Islam turut menyediakan suatu hukum dan peraturan yang lengkap dan adil bagi menjamin keadilan tersebut akan dapat ditegakkan di kalangan manusia secara berterusan.
Firman Allah SWT di dalam Surah Al-Hadid Ayat 25, menurut Dr Wahbah Az-Zuhaili Rahimahullah, ayat itu adalah merupakan Perlembagaan masyarakat Islam dan sistem perundangan masyarakat Islam. Masyarakat Islam itu adalah masyarakat yang berhukumkan dengan undang-undang dari langit, berasaskan manhaj kebenaran dan keadilan persamaan.
Ianya ditegakkan di bawah lindungan kekuatan yang memelihara dasar-dasar perundangan itu yang menolak dan mengancam sesiapa sahaja yang berkeinginan melanggarnya atau mencabar kesuciannya atau berusaha untuk menghapuskannya atau sesiapa sahaja yang cuba menyekat perkembangan dakwah Islam di dalam negara Islam atau di luarnya.
Tuan Yang di-Pertua, saya melihat isu Nik Elin sekiranya tidak ada tindakan segera dan pantas serta berkesan untuk mempertahankan enakmen-enakmen syariah di negeri- negeri dari terus dicabar, ia akan memberi kesan yang sangat membahayakan negara.
Tindakan tegas kerajaan dalam pada masa lalu dalam menyekat fahaman anti-hadis dan mengharamkan penyebaran buku Kassim Ahmad sehingga fahaman tersebut dapat dibendung. Pada masa ini, ketegasan yang sama adalah sangat dituntut bagi membendung gelombang mencabar syariat Islam yang merosakkan akidah. Ia boleh membuka ruang kepada kemunculan berterusan, golongan pelampau sekular yang radikal dan extreme.
Kebimbangan kita tentang golongan pelampau sekular ini bukanlah tidak berasas kerana ancaman golongan ini telah pun diperingatkan oleh Karen Leong di dalam artikelnya bertajuk, “Violent and the intolerant secularists” yang diterbitkan pada tahun 2001.
Tuan Zulkifli bin Ismail - Jasin
Beliau menegaskan bahawa, “Intolerance, violence and extremism are not exclusive to people of faith because there have always been secularists who are more violent, intolerant and extreme than the adherents of religions.” Karen Leong membawa contoh Khmer Rouge yang berfahaman ateis dan seorang ekstrem sekularis telah membunuh tidak kurang dari dua
Tuan Zulkifli bin Ismail - Jasin
juta orang rakyatnya dari tahun 1975 sehingga tahun 1979 dalam usaha untuk merealisasikan cita-cita sekular beliau. Begitu juga dengan Joseph Stalin dan juga Mao Zedong dan begitu juga Adolf Hitler dan begitu juga dengan Maximilien Robespierre.
Justeru itu, Felo Kanan IKIM memetik kajian Karen Leong menyatakan, “Secularism has indeed become a new religion because like, the old religion, it seeks to eradicate, some of its followers also think that its belief system is universal and immutable.” Di Perancis golongan radikalisme sekular ini telah mempergunakan pelbagai pendekatan bertujuan menghina Islam dan umat Islam seperti yang disimpulkan dalam artikel tersebut, kita tidak ingin dan tidak akan membenarkan keadaan ini berlaku di Malaysia. The secularists must be reminded that just as religious extremism is unacceptable, so is secular extremism and the condescending behaviour of the secular extremists. Sekularisme bukanlah tongkat ajaib yang menjanjikan kebahagiaan dan kemakmuran negara. Manakala pelampau-pelampau sekular ini bukanlah penyelamat yang dinanti- nantikan, bahkan sebaliknya kesemua itu adalah malapetaka bagi negara ini yang wajib dihalang sebagaimana ia telah menjadi malapetaka dan bencana kepada Barat sehingga hari ini.
Justeru itu, sebagai Ahli Parlimen beragama Islam yang mewakili rakyat di Parlimen Jasin, saya menggesa kerajaan agar mengambil langkah segera dan bermakna untuk melindungi kehormatan Islam, hukum-hukum syarak dan keluhuran akidah Islam dalam negara tercinta ini. Kita berada pada penghujung umur dunia yang diperingatkan oleh Rasulullah SAW sebagai zaman Islam dicabar dan ditolak. Adalah menjadi tanggungjawab kerajaan dalam negara yang perlembagaannya meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan agar bertegas menolak usaha-usaha golongan pelampau sekular untuk menghapuskan kekebalan Islam di dalam Perlembagaan negara sebagai agama Persekutuan.
Hukum jenayah berasaskan syariat Islam dan seterusnya menundukkan Islam sepenuhnya kepada ideologi dan undang-undang ciptaan manusia seperti yang berlaku kepada kedudukan agama di barat. Dalam rangka melindungi kekebalan Islam itu, para pengamal undang-undang beragama Islam wajiblah mendahulukan Islam atas yang lain daripadanya.
Tuan Yang di-Pertua, oleh kerana percakapan ahli politik telah dituduh sebagai menunggangkan agama walaupun sebahagian ahli politik tersebut adalah terdiri dari bekas Ahli Majlis Fatwa Negeri, para asatizah yang memiliki PhD dan para ulama kelahiran pondok serta para pendakwah yang berwibawa. Maka izinkan saya dalam isu Nik Elin ini memetik langsung dari buku tulisan Almarhum Bekas Mufti Negeri Sabah, Haji Said Haji Ibrahim sebagai peringatan bersama khususnya sekumpulan pengguna Internet yang keliru sehingga ada yang mempermainkan hukum syarak. Akidah wajib dipelihara. Saya ingin bertanya berkait isu ini, adakah kerajaan ada mengeluarkan panduan berkaitan akidah Islam yang berkaitan dengan persoalan ini?
Buku yang berjudul Jenayah Murtad dari Sudut Hukum Syarak dan Perundangan Islam, “Perkara-perkara yang menyebabkan menjadi murtad. Empat, memperolok-olok atau mengejek-ejek sesuatu hukum yang sudah jelas diketahui dalam agama Islam dan disebutkan nasnya di dalam Al-Quran dan sunnah di mana mereka yang melakukan perbuatan tersebut adalah bermakna mereka memperolok-olok dan mengejek-ejek Allah dan Rasulnya dan kitabnya Al-Quran yang menyebabkan mereka itu menjadi murtad. Lima, melahirkan kebencian dan kemarahan ketika menyebut dan mengingati Allah dan Rasulnya atau ketika dibacakan ayat Al-Quran.” Apa yang dinyatakan oleh Almarhum mufti adalah ajaran Islam berkaitan akidah yang tidak boleh diubahsuai menurut hawa nafsu, menerangkan batas-batas iman dan kufur tanpa mengkafirkan seseorang yang beriman adalah ajaran Ahlul Sunnah Waljamaah. Ia bukan ajaran Khawarij atau fahaman pelampau agama sebagai mana yang disalahfahamkan.
Tuan Mohd Sany bin Hamzan - Hulu Langat
Jasin, boleh tanya sikit Jasin?
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Saya gunakan Peraturan 37(2), tidak membenarkan penjelasan. Sila duduk.
Tuan Zulkifli bin Ismail - Jasin
Tuan Yang di-Pertua...
Tuan Mohd Sany bin Hamzan - Hulu Langat
Speaker pun macam pembangkang dah sekarang ini.
Tuan Zulkifli bin Ismail - Jasin
...adalah tidak wajar apabila pembangkang yang telah dipilih oleh rakyat dalam kerangka sistem demokrasi untuk melaksanakan tanggungjawab check and balance dalam menegur kepincangan kerajaan dan memberi nasihat untuk kebaikan negara cuba diberikan gambaran sebagai Khawarij. Siapakah yang menyuntik idea ini dan untuk tujuan apakah ia dilakukan? Yang jelas, tuduhan demikian telah ditolak sendiri oleh para ulama yang pakar...
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Sila.
Tuan Zulkifli bin Ismail - Jasin
Mohon sedikit masa lagi.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Tidak cukup masa. Sila gulung.
Tuan Zulkifli bin Ismail - Jasin
Oleh para ulama yang pakar mengenai aliran-aliran yang menyeleweng, yang pernah muncul dalam sejarah Islam. Sebagai contohnya di dalam buku kajian mengenai Mazhab Khawarij oleh Dr. Muhammad Anwar Hamid Isa, Profesor Akidah dan Falsafah, Universiti Al-Azhar di bawah fasal [Bercakap dalam bahasa Arab] atau kuasa yang bertentangan. Beliau mengatakan [Bercakap dalam bahasa Arab] yang bermaksud,“ Mereka itu tidak dinamakan sebagai Khawarij. Gambaran yang paling tepat bagi mereka ialah sebagai kuasa pembangkang atau parti-parti pembangkang”. Tuan Yang di-Pertua yang terakhir, saya ingin menegaskan bahawa...
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Masa sudah tamat, masa sudah tamat.
Tuan Zulkifli bin Ismail - Jasin
...kebenaran yang dibawa oleh Islam yang disebut dalam Perlembagaan Persekutuan itu adalah kebenaran mutlak. Kebenaran yang berpaksikan kepada ketauhidan Allah yang Maha Sempurna. Apa saja yang berlawanan dengan Islam adalah kebatilan dan kejahilan. Justeru itu, premis bahawa kebenaran tidak ada batasan atau tanpa batasan yang sering diungkapkan dewasa ini adalah ajaran yang bukan berasal dari Islam sebaliknya ia adalah dicedok dari fahaman pluralisme dan falsafah barat.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Yang Berhormat.
Tuan Zulkifli bin Ismail - Jasin
Firman Allah SWT, [Membaca sepotong ayat Al- Quran]. “Perkara yang benar ialah yang datang dari Tuhanmu. Maka jangan sekali-kali engkau menjadi dari kalangan orang-orang yang ragu”. Dalam rangka mendaulatkan Islam sebagai agama bagi Persekutuan, terjemahan dah kefahamannya mestilah diambil dari ajaran Islam itu sendiri. Ketulenan kefahaman Islam mestilah dijaga agar pelaksanaannya tidak terpesong, bukan dicampuradukkan dengan fahaman falsafah dan ideologi ciptaan manusia sama ada sekularisme atau liberalisme ataupun sosialisme ataupun pluralisme sehingga melahirkan Islam jadi-jadian yang sesat lagi menyesatkan pengikutnya.
[Pembesar suara dimatikan]
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Yang Berhormat, masa sudah tamat. Saya terpaksa hentikan Yang Berhormat kerana kita tak ada usul 12(1) hari ini.
Sila duduk. Saya jemput Yang Berhormat Gombak.
Dato’ Seri Amirudin bin Shari - Gombak
Tak sempat bagi salam Yang di-Pertua.
Bismillahi Rahmani Rahim. Terima kasih Timbalan Yang di-Pertua, rakan-rakan Ahli Dewan yang saya kasihi sekalian.
Gombak ingin merakamkan Menjunjung Kasih di atas Titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar yang sedikit sebanyak menyentuh tentang kepentingan perpaduan di kalangan rakyat dan warganya dan sekali gus saya percaya ia akan mampu membantu usaha Malaysia untuk kembali ke arah landasan
Dato’ Seri Amirudin bin Shari - Gombak
yang tepat untuk menjadi sebuah negeri yang lebih berdaya saing dan mampu untuk memberikan kesejahteraan dan kemakmuran kepada rakyatnya.
Timbalan Yang di-Pertua, pada saat masa yang tidak begitu panjang, saya ingin menyebut tentang beberapa cabaran yang perlu kita hadapi pada tahun 2024. Tahun 2024 dianggarkan tahun yang tidak begitu stabil kerana pada tahun 2024 dianggarkan begitu banyak buah negara akan berdepan dengan pilihan raya-pilihan raya. Alhamdulillah, untuk Malaysia dan beberapa buah negeri di Malaysia, kita telah melepasi period dan waktu tersebut. Namun negara seperti India, Amerika Syarikat dan sebagainya yang menjadi rakan dagang pastinya akan terkesan kerana berdepan dengan waktu dan saat pilihan raya tersebut.
Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, saya percaya pada saat kita telah melepasi waktu- waktu ini, seruan terhadap perpaduan merupakan satu seruan yang paling utama dalam memastikan kita kembali berada dalam track selepas kita ingin memulihkan diri dalam pada kita berdepan dengan COVID-19 dan kesan-kesannya selepas itu.
Dato’ Seri Amirudin bin Shari - Gombak
Satu perkara yang ingin sentuh dalam perbahasan ini ialah tentang perusahaan kecil sederhana ataupun industri kecil sederhana di seluruh Malaysia, yang merupakan 97 peratus daripada syarikat-syarikat yang berdaftar di dalam negara kita. 1.15 juta syarikat-syarikat yang berdaftar dalam negara kita merupakan syarikat-syarikat yang berdaftar di bawah kategori PKS ataupun perusahaan kecil dan sederhana. Sektor ini menyumbang kepada 38.2 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar ataupun KDNK nasional.
Namun untuk memberikan peluang dan ruang untuk Malaysia berkembang dengan lebih pesat ke arah mencipta satu ekonomi yang sihat dan vibrant, kita harus bicara soal kebersaingan negara ataupun national competitive advantage bagi negara kita. Ini penting untuk menegakkan Malaysia sebagai feeder kepada negara-negara lain, tetapi meneroka peluang untuk menjadi pemimpin ekonomi terutamanya di rantau ASEAN.
Gombak berpandangan bahawa terdapat sekurang-kurangnya dua ruang yang Malaysia mempunyai kelebihan dan menjadi rujukan di rantau ini iaitu dalam aspek penghasilan tenaga dan terutamanya dari sumber yang boleh diperbaharui serta menjadi negara pertama di ASEAN mempunyai kelengkapan dan latihan high-end dalam bidang teknikal dan vokasional. Dalam mencapai hasrat ini, kita harus memberikan satu ekosistem inovasi dengan membina sistem inovasi nasional.
Ahli-ahli Yang Berhormat yang saya kasihi sekalian, kalau kita mengambil pengalaman negara Jepun pada tahun 90-an, mereka bermula dengan industri pembuatan kereta dan menghasilkan kereta bersaiz kecil dan murah dan saingan utama mereka pada ketika itu adalah bagaimana melalui dan membangunkan dengan kos yang rendah.
Kemudiannya syarikat-syarikat ini meningkatkan kualiti pengeluaran, membuat lab-lab tertentu dan juga kajian dan research dan sebagainya.
Pada hari ini, pengeluar kereta terbesar di dunia adalah Toyota daripada Jepun. Saya bukan ingin menggalakkan ataupun menumpukan agar kita membina sektor ini sahaja, tetapi bagi saya, apa yang patut dibangunkan dengan segera ialah bagaimana beberapa aspek seperti tenaga kerja, talent pool yang berkualiti; digitalisasi; ease of doing business di peringkat nasional. Ini tiga perkara yang wajar kita perkemaskan dalam menggalakkan dan memperkemaskan bidang PKS ataupun perusahaan kecil dan sederhana.
Saya bercadangkan di sini bahawa apa salahnya pada tiap-tiap tahun kerajaan mencubit lebih kurang lima peratus daripada keseluruhan RM106.420 bilion. Ini adalah kutipan cukai yang dihasilkan pada tahun 2023 sebanyak RM106 bilion. Mencubit sedikit sebanyak lima peratus iaitu sebanyak RM5.3 bilion untuk diagihkan kepada negeri-negeri berdasarkan kepada pencapaian-pencapaian mereka dalam membangunkan PKS.
Program pembangunan PKS tidak boleh hanya ditumpukan di peringkat nasional sahaja. Pihak negeri harus dipertanggungjawabkan untuk membangunkan PKS kerana dengan membangunkan perusahaan kecil dan sederhana ini, secara tidak langsung Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, kita akan mampu untuk menangani serta membangunkan ekonomi kita dan boleh menjadi penampan kepada masalah-masalah yang mungkin kita akan hadapi.
Dato’ Seri Amirudin bin Shari - Gombak
Ahli-ahli Yang Berhormat yang saya kasihi sekalian, memang sebenarnya negara kita berada dalam proses pemulihan dan belum sebetul-betulnya lengkap dan boleh dipulihkan. Saya mengambil pandangan yang disebut oleh Machang dalam beberapa perkara tentang ringgit. Tetapi dalam dua taklimat yang saya hadiri bersama dengan institusi perbankan, secara konsisten institusi perbankan tersebut menganggarkan ringgit boleh mencecah pada angka sekitar 4.4 sehingga 4.2 pada akhir tahun ini.
Kalau Machang tadi sebutkan tentang angka ringgit mencecah angka tertinggi daripada tempoh 20 hari bulan sampai hari ini, ringgit terus mencatatkan pengukuhan dan hari ini telah turun kepada USD1 kepada RM4.70. Ini harus diberikan ruang kepada pihak Kerajaan Persekutuan untuk mengatasi isu-isu tersebut, di samping kita mengekalkan OPR yang masih lagi rendah dan hari ini pengumuman OPR masih lagi tiga peratus yang sekali gus mengurangkan kadar inflasi. Kita berjaya mengurangkan kadar inflasi, sebagaimana pengumuman dan juga rencana yang telah dibuat oleh Menteri Ekonomi.
Saya masih ingat pada awal kita mengambil alih pada lepas 2022, kadar inflasi kita adalah lima dan empat peratus dan sekarang di bawah dua peratus ataupun di bawah tiga peratus. Ini merupakan satu pencapaian di samping kita usaha untuk meningkatkan ringgit.
Begitu juga apabila disebut tentang Goodyear...
Tuan Ahmad Tarmizi bin Sulaiman - Sik
Yang Berhormat, sedikit sahaja.
Dato’ Seri Amirudin bin Shari - Gombak
Sabar Sik. Saya nak terangkan pasal Goodyear tadi.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Saya tidak benarkan pencelahan, sila duduk.
Dato’ Seri Amirudin bin Shari - Gombak
Saya nak terangkan pasal Goodyear sebab disentuh tentang Shah Alam dan disentuh oleh colleague. Bila saya semak pagi tadi selepas berita ini keluar, rupanya Goodyear telah menutup kilang di Akron, Ohio yang menarik 500 pekerja pada tahun 2023. Goodyear juga telah melakukan restructuring drive pada September 2023 untuk memotong 1,200 pekerjanya di Eropah Timur dan juga di Afrika dan juga di Asia. Ini dilakukan kerana Goodyear telah menstruktur semula struktur perniagaan mereka kerana tidak mampu bersaing dengan pesaing-pesaing lain seperti Michelin and Bridgestone.
Tuan Mohd Sany bin Hamzan - Hulu Langat
Gombak, Gombak. Saya bukan nak tanya.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Hulu Langat.
Tuan Mohd Sany bin Hamzan - Hulu Langat
Bukan, bukan. Tidak perlu ulasan.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Saya tidak benarkan pencelahan.
Tuan Mohd Sany bin Hamzan - Hulu Langat
Cuma saya nak bagi tahu maksudnya kenyataan Machang tadi itu, dia tipulah itu, tipu.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Sila duduk.
Tuan Mohd Sany bin Hamzan - Hulu Langat
Tipu.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Sila duduk.
Dato’ Seri Amirudin bin Shari - Gombak
Tidak. Saya rasa tidak. Dia tidak menipu, tetapi dia memutar belit daripada realiti dan keadaan yang sebenar dengan membuat persepsi. Persepsi yang dibuat untuk memburukkan kerajaan, di saat kita ingin mempertahankan dan memudahkan ekonomi kerajaan.
Tuan Ahmad Tarmizi bin Sulaiman - Sik
Minta Gombak baca memo daripada Goodyear itu penuh kalau boleh di sini. Memo dari Goodyear itu sendiri.
Dato’ Seri Amirudin bin Shari - Gombak
Saya bacakan laporan penuh daripada Goodyear di peringkat tahunan bagaimana mereka menutup dan menyusun kerana mereka kena menyusun balik kosnya adalah kos yang tinggi dan kos pekerja-pekerja di negara- negara yang seperti Vietnam dan sebagainya adalah lebih rendah. Ini adalah contoh
Dato’ Seri Amirudin bin Shari - Gombak
bagaimana kita harus menganggap dan kita kena menerima. Apabila kita sebut kelulusan pelaburan yang datang tahun 2024 bernilai RM329 bilion, dia kata tipu pula. Itu angka yang dikeluarkan oleh MIDA. Itu contoh bagaimana perubahan dan pembaikan telah dilakukan dan ada ruang lain untuk kita lakukan kebaikan.
Ahli Yang Berhormat sekalian, terakhir di satu minit 39 saat terakhir, saya ingin mengambil peluang ini untuk menyebutkan bahawa kita juga harus bersedia untuk mencecah tahun 2025. Satu perkara penting yang akan berlaku pada tahun 2025 ialah Malaysia akan kembali menjadi tuan rumah untuk ASEAN. Selaku host dan ibu pejabat ASEAN yang akan bertapak di Kuala Lumpur selama beberapa tahun, saya percaya kita harus bersedia merangka dan merebut peluang ini. Namun begitu, ada beberapa perkara yang perlu kita lakukan. Antara yang kita harus segera lakukan ialah untuk memastikan kita mengenal pasti untuk lebih terbuka dan meraikan kepelbagaian multiculturalism.
Tetapi kalau kita membuka budaya kita dengan budaya tertutup, bagaimana kita ingin menjadi host yang baik? Kepentingan ASEAN bukan hanya terlingkung dalam negara-negara ASEAN, tetapi kepada rakan-rakan dialog ASEAN seperti Australia, Amerika, Korea ataupun China yang merupakan kuasa-kuasa besar kepada ekonomi. Justeru, awareness ataupun keyakinan ataupun keprihatinan dan kepekaan rakyat terhadap ASEAN ini harus dipertingkatkan kerana dalam satu kajian menunjukkan bahawa rakyat Malaysia kurang arif, kurang tahu tentang ASEAN walhal Malaysia adalah di antara founding team dengan izin, ataupun pasukan pertama yang membina ASEAN.
Kita harus menerima ASEAN sebagai satu contoh kebanggaan yang harus dibesarkan. Kerana apa Yang Berhormat? Kerana pada ketika ini Amerika Syarikat baik, Eropah baik atau di beberapa belah tempat lain, Timur Tengah dan sebagainya berdepan dengan krisis-krisis tertentu dan ASEAN yang kebetulan akan terajui oleh Malaysia pada tahun 2025, mempunyai peluang itu kerana kita berada dalam kawasan yang aman, stabil dan kurang konflik. Mungkin ada satu dua perkara yang perlu diperbaiki...
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Sila gulung.
Dato’ Seri Amirudin bin Shari - Gombak
...Tetapi saya percaya hal ini perlu diperbesarkan dan perlu diperhatikan termasuk membina konsep kebersamaan ataupun mengukuhkan istilah komuniti ASEAN ataupun masyarakat ASEAN yang mempunyai kepelbagaian budaya, tetapi mampu menerima, bertolak ansur serta hidup aman dan damai.
Saya mohon untuk berbahas. Terima kasih Timbalan Speaker.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Terima kasih Yang Berhormat Gombak. Saya jemput Yang Berhormat Saratok.
Datuk Ali anak Biju - Saratok
Salam sejahtera dan terima kasih saya ucapkan kepada Tuan Yang di-Pertua. Terlebih dahulu patik menjunjung kasih di atas Titah Diraja Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sempena Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama, Penggal Ketiga, Parlimen Ke-15 pada 26 Februari yang lalu. Patik merafak sembah setinggi-tinggi ucapan tahniah di atas pertabalan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-XVII dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofea.
Patik juga merafak sembah menjunjung kasih setinggi-tinggi penghargaan kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang dan Tengku Ampuan Pahang yang telah menaungi negara dan rakyat jelata selama lima tahun sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke- XVI dengan adil dan bijaksana.
Datuk Ali anak Biju - Saratok
Tuan Yang di-Pertua, infrastruktur pendidikan. Saya terpanggil sekali lagi mengetengahkan isu yang sering kali dibawa oleh Ahli Dewan Rakyat yang mulia ini terutama daripada wakil dari Sabah dan Sarawak mengenai isu keadaan sekolah daif. Kategori sekolah daif adalah sekolah yang memiliki fizikal, komponen, fasiliti dan bangunan yang tidak
Datuk Ali anak Biju - Saratok
sempurna, tidak berfungsi dan tidak selamat digunakan yang boleh mendatangkan ancaman berbentuk kecederaan, kecelakaan atau kehilangan nyawa manusia.
Meskipun Kementerian Pendidikan (KPM) telah melaksanakan program naik taraf dan pembangunan semula sekolah daif sejak tahun 2016 lagi, namun masih banyak sekolah daif diguna pakai. KPM harus memastikan semua sekolah mencapai keperluan asas yang penting serta persekitaran yang selamat dan kondusif bagi melaksanakan pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang berkesan.
Pada keseluruhannya menurut Laporan Audit Negara 2022, sebanyak 1,505 bilangan buah sekolah yang sudah dikenal pasti mempunyai bangunan daif pada skala enam dan tujuh sehingga 31 Disember 2022. Daripada jumlah 1,505 tersebut, sebahagian besar sekolah daif berada di Sabah dan Sarawak iaitu sebanyak 593 buah di Sarawak dan 484 buah di Sabah.
Sebanyak 411 buah sekolah daif telah diangkat pelaksanaannya di seluruh negara dan status pada masa kini sedang di dalam banyak peringkat pembinaan. Yang menjadi persoalannya adalah status 1,094 buah sekolah daif yang belum diangkat permohonan pelaksanaannya sehingga 31 Disember 2022.
Memandangkan masalah sekolah daif ini telah dan masih berlaku sejak sekian lamanya terutama di Sabah dan Sarawak, saya menyeru dan meminta pencerahan, apakah kerangka besar yang dilaksanakan oleh kerajaan terutama Kementerian Pelajaran Malaysia, Kementerian Ekonomi dan KKR di dalam usaha menyelesaikan isu sekolah daif yang masih berjumlah 1,094 buah ini?
Apakah langkah drastik yang akan diambil oleh kerajaan sama ada menyelenggara, membaik pulih atau membina baru sekolah daif? Berapa anggaran kos keseluruhan projek sekolah daif di Malaysia? Berapa lama lagi anak-anak sekolah kita harus menunggu bangunan sekolah yang selesa dan selamat?
Pelajaran dan pembelajaran murid yang kondusif bermula dari peringkat kanak- kanak, dapat membentuk masyarakat yang baik demi menjamin masa depan negara. Saya amat setuju dengan Titah Duli Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang mengungkap pepatah Melayu mengatakan, “Melentur buluh biarlah dari rebungnya”. Pendidikan awal memberi kesan jangka panjang. Oleh itu, adalah tanggungjawab kerajaan dan kita semua menyediakan pendidikan yang kondusif dan infrastruktur yang baik.
Isu sekolah daif ini harus diangkat sebagai isu nasional, isu besar yang sekian lama tak selesai. Oleh yang demikian, saya menyarankan kerajaan berusaha bersungguh-sungguh untuk menoktahi kewujudan sekolah daif di Malaysia khasnya di Sabah dan Sarawak. Kalau kerajaan mempunyai program khas untuk menoktahi kejadian miskin tegar di Malaysia, saya harap kerajaan pun ada program dan dana khas untuk menoktahi sekolah daif ini.
Dengan kesempatan ini juga, saya ingin meminta pencerahan dari KPM akan status penyelenggaraan, baik pulih atau bina baru sekolah daif di kawasan P.205 Saratok. Jumlah kesemua sekolah rendah di Saratok adalah 53 buah, tetapi sedihnya 35 buah adalah dikategorikan sebagai sekolah daif pada skala enam dan tujuh. Sehubungan itu, 35 buah sekolah daif ini memerlukan perhatian yang lebih untuk diangkat dan dilaksanakan penaiktarafan. Saya minta KPM memberi status bina baru SK Ulu Kabo, SK Babang dan SK Abang Leman.
Menyentuh progress pembinaan SK Abang Leman Fasa 2, saya menyeru agar pelaksanaan fasa 2 dipergiatkan. Kerja-kerja di tapak perlu dipantau dengan lebih teliti oleh KPM melalui Jabatan Pendidikan Sarawak. Ini adalah kerana proses pembinaannya sekarang ini mengalami kelewatan hampir satu tahun. Bagi SK Ulu Kabo, saya ingin tahu status perolehan tapak binaan yang baru yang sudah dicadangkan. Minta KPM memberi jangka masa permulaan projek bina baru SK Ulu Kabo. Keadaan sekolah yang ada sekarang amat tidak selamat seperti mana yang telah disahkan oleh JKR Sarawak. Untuk pelaksanaan projek SK Babang, saya minta KPM mengemaskinikan status pelaksanaannya. Sudahkah tender diiklankan pada bulan Disember 2023 sebagaimana garis masa yang asal?
Pelaksanaan balai bomba di Kabong. Tuan Yang di-Pertua, dengan peluang ini, saya juga ingin menggesa Kementerian Kerajaan Tempatan supaya mempercepatkan proses pelaksanaan balai bomba di Kabong kerana Kabong merupakan kawasan berisiko tinggi.
Datuk Ali anak Biju - Saratok
Banyak kejadian kebakaran telah berlaku beberapa tahun yang lalu di kawasan Kabong termasuk Pekan Kabong itu sendiri.
Rumah panjang dan juga rumah persendirian. Warga Kabong menunggu dengan penuh harapan pelaksanaan balai bomba sehinggakan mereka sanggup menubuhkan Bomba Sukarela Kabong. Saya memuji sikap Bomba Sukarela Kabong yang telah ditubuhkan itu. Mereka menunjukkan semangat dan dedikasi yang tinggi untuk berkhidmat kepada warga kampung.
Pasukan ini telah banyak memberi pertolongan kepada masyarakat setempat seperti memadam api kebakaran hutan, gotong-royong, pembersihan dan lain-lain. Mereka mendapat kerjasama yang erat dari Balai Bomba Saratok yang telah dan sedang memberi latihan yang amat relevan dan bermakna. Latihan-latihan yang dijalankan sememangnya berkaitan dengan kerja-kerja kebombaan seperti pemadaman api.
Untuk memperkemaskan lagi kesiapsiagaan Bomba Sukarela Kabong, saya telah membekalkan mereka dengan peralatan pemadam api yang asas seperti mesin pam, hos, nozel dan lain-lain dengan dana PMR dulu. Di samping itu, untuk memperlengkapkan lagi peralatan pemadam kebakaran, Bomba Saratok telah membekalkan peralatan keselamatan khas kepada mereka.
Oleh yang demikian, amatlah berpatutan sekali kementerian melaksanakan projek bomba kategori D di Kabong seperti yang warga Kabong ingini. Saya mengucapkan terima kasih kepada Ibu Pejabat Bomba dan Jabatan Tanah dan Ukur Sarawak kerana telah mengenal pasti tapak yang sesuai di mana tanah yang dicadangkan sebagai tapak bangunan bomba Kabong adalah merupakan tanah Kerajaan Persekutuan dan ini dapat diharap memudahkan lagi proses pengambilalihan tanah berkenaan. Pada ringkasnya, keperluan ini untuk melaksanakan Balai Bomba Kabong ini makin mendesak. Minta kementerian mempercepatkannya.
Klinik Kesihatan Saratok. Tuan Yang di-Pertua, di sini saya juga meminta penjelasan dan cadangan pelaksanaan klinik Saratok yang terletak berhampiran dengan Pekan Saratok.
Pada masa sekarang, Pekan Saratok tidak ada kemudahan klinik meskipun ada hospital.
Keperluan klinik di Pekan Saratok makin mendesak memandangkan jumlah pesakit luar yang memerlukan rawatan perubatan semakin bertambah. Mereka terpaksa pergi ke Hospital Saratok secara terus dan keadaan ini menyebabkan kesesakan dan keadaan yang tidak kondusif. Saya difahamkan bahawa cadangan pelaksanaan klinik Saratok masih belum diangkat kerana masalah pemilihan tapak yang sesuai belum ada kata putus.
Oleh yang demikian, saya menyarankan agar Kementerian Kesihatan (KKM) berserta dengan Jabatan Tanah dan Ukur Sarawak menggiatkan lagi usaha pencarian dan pembelian tapak yang sesuai. Usaha ini harus melibatkan PBT dan masyarakat setempat yang memiliki tanah di kawasan persekitaran. Keadaan ini tidak boleh dibiarkan berlarutan kerana jumlah pesakit kian bertambah dan memerlukan rawatan di klinik.
Yang keempat, saya nak menyentuh pasal makanan warisan negara. Tuan Yang di- Pertua, saya juga ingin memberi penerangan dan cadangan saya terhadap isu makanan warisan negara yang menarik perhatian ramai netizen. Sehubungan itu, saya mencadangkan satu sajian warisan yang unik dan amat popular di Sarawak iaitu masakan pansuh sebagai masakan warisan negara.
Pansuh ini merupakan masakan tradisional masyarakat Dayak di Sarawak di mana menggunakan buluh sebagai peralatan untuk memasak. Bermacam-macam jenis ikan, ayam, daging dan nasi juga boleh dimasak dengan menggunakan buluh. Kita boleh membuat pansuh ikan, pansuh ayam dan pansuh daging yang sedap dan dengan keenakan kulinari yang unik, lebih-lebih lagi kalau dicampur dengan herba dan ramuan asli dari hutan seperti daun bungkang.
Para pengunjung ke Sarawak tidak melepaskan peluang menikmati sajian unik tradisional ini. Rasa sekali, pasti hendak lagi. Oleh yang demikian, pada pandangan saya, pansuh memang layak disenaraikan sebagai masakan warisan negara.
Dengan ini, saya ingin mengakhiri ucapan saya dengan menyokong Titah Diraja Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Sekian, terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Terima kasih Yang Berhormat Saratok. Saya jemput Yang Berhormat Stampin.
Tuan Chong Chieng Jen - Stampin
Terima kasih Puan Yang di-Pertua kerana memberi peluang kepada saya untuk membahas Usul Menjunjung Kasih Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di atas Titah Tuanku.
Puan Yang di-Pertua, sekali lagi saya ingin membangkitkan isu berkenaan bank scam dan juga pengeluaran wang daripada akaun bank tanpa pengetahuan dan kebenaran pemegang akaun kerana masalah yang saya bangkitkan tahun lalu tidak diselesaikan. Pada bulan lalu juga, Pesuruhjaya Polis Sarawak telah mengumumkan bahawa pada tahun 2023, Sarawak telah merekodkan 2,958 kes jenayah komersial yang mengakibatkan kerugian sebanyak RM117 juta.
Tuan Chong Chieng Jen - Stampin
Ini merupakan peningkatan yang amat besar berbanding tahun 2022 yang mencatatkan sebanyak 2,461 kes yang merekodkan kerugian sebanyak RM66 juta sahaja.
Dari segi nombor kes jenayah komersial, itu merupakan peningkatan sebanyak 20 peratus dan dari segi kerugian nilai wang, itu adalah peningkatan sebanyak 77 peratus.
Majoriti kes jenayah komersial melibatkan bank scams. Bank scams yang termasuk pengeluaran wang daripada akaun bank tanpa kebenaran dan pengetahuan pemegang akaun terus menjadi ancaman pada keselamatan wang rakyat yang disimpan dalam bank walaupun langkah-langkah telah diambil oleh kerajaan dengan penubuhan Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) dengan hotline 997. Jenayah tersebut masih menunjukkan peningkatan dan semakin ramai yang menjadi mangsa.
Adalah jelas bahawa langkah yang diambil oleh kerajaan selama ini adalah tidak efektif untuk mengekang aktiviti bank scam dan untuk melindungi wang rakyat yang disimpan di bank. Saya rasa pihak bank juga perlu memainkan peranan yang lebih bertanggungjawab dan membanteras jenayah tersebut.
Jika kita lihat unsur-unsur bank scams ini dan pengeluaran wang dari akaun bank tanpa pengetahuan dan kebenaran pemegang akaun, selalunya dalam kes-kes sebegini ia melibatkan pemindahan wang dari satu akaun ke dalam akaun bank penerima iaitu recipient bank account. Dalam kebanyakan kes adalah akaun keldai (mule account). Setakat ini pengesahan jejak kewangan mangsa akan berhenti di akaun keldai. The tracing of the money lost always ends at the mule account dengan izin. Mangsa tidak mempunyai apa-apa cara untuk memulihkan kerugian mereka.
Ini adalah amat tidak adil bagi mangsa. Bank-bank perlu dipertanggungjawabkan kerana bank-banklah yang membenarkan akaun keldai sedemikian dibuka dan membolehkan penipuan dilakukan menggunakan akaun keldai sedemikian. Sekiranya bank-bank menangani proses pembukaan akaun bank dengan lebih ketat dan teliti, maka akaun keldai sedemikian tidak akan wujud dan bank scam tidak akan berlaku.
Oleh yang demikian, salah satu cara lebih efektif untuk menangani masalah bank scam adalah mewajibkan mana-mana bank yang mempunyai akaun keldai yang telah terlibat dalam kes bank scam bertanggungjawab dalam kerugian mangsa. Akta Perkhidmatan Kewangan (Financial Services Act) harus dipinda untuk menjadikan bank tersebut membayar pampasan kepada mangsa yang berkenaan jika tidak sepenuhnya, sekurang-kurangnya sebahagian daripada kerugian.
Hanya apabila bank perlu bertanggungjawab atas kerugian mangsa bank scams, mereka akan lebih berhati-hati apabila membenarkan sesiapa sahaja membuka akaun bank dan lebih berkecenderungan untuk belajar untuk meningkatkan sistem sekuriti mereka.
Persoalan saya, sama ada kerajaan berniat membuat bank-bank untuk menanggung kerugian mangsa-mangsa bank scam? Jika tidak, mengapa tidak? Jika berniat, bilakah ia akan dilaksanakan?
Tuan Chong Chieng Jen - Stampin
Isu keduanya adalah berkenaan konsert Taylor Swift yang dijalankan di Singapura.
Singapura menjadi satu-satunya negara di Asia Tenggara yang menjadi persinggahan Taylor Swift untuk mengadakan konsert jelajah dunia The Eras Tour selama enam hari di Singapura.
Di lain negara di Asia Tenggara hanya jadi bystander, dikagumkan dengan betapa banyak keuntungan ekonomi dikaut oleh Singapura daripada konsert tersebut.
Menurut anggaran ahli ekonomi Maybank, Singapura memperoleh sekurang- kurangnya USD370 juta keuntungan daripada peminat Taylor Swift dari seluruh dunia yang membanjiri Singapura untuk menghadiri konsert itu. Bukan sahaja kerajaan Singapura mendapat hasil cukai GST tambahan, pengusaha hotel, pengusaha pelancong, pemandu teksi atau e-hailing, penjaja restoran dan industry retail semuanya mendapat manfaat.
Dengan pulangan ekonomi yang begitu besar dan rangsangan kepada industri pelancong negara tuan rumah, maka tidak hairanlah itu mencetuskan perasaan cemburu dan kritikan dari negara-negara lain di rantau Asia Tenggara atas strategi Singapura memonopolikan konsert Taylor Swift di Asia Tenggara.
Ironically dan pelik sangat juga di negara kita terdapat beberapa pemimpin BERSATU pun mengeluarkan perasaan kesal kerana Taylor Swift tidak datang ke Malaysia dan cuba mengambil peluang itu mengkritik kerajaan. Pemimpin-pemimpin BERSATU yang mengulas isu itu harus mengarahkan kritikan dan persoalan mereka kepada rakan-rakan mereka dalam PAS. Lihatlah apa yang dilakukan oleh rakan-rakan anda dalam PAS terhadap selebriti kelas A seperti Coldplay, BLACKPINK. Mereka datang sini, pemimpin-pemimpin PAS mendesak untuk membatalkan konsert pada saat-saat akhir dan cuba mengawal cara selebriti berpakaian atau apa yang boleh mereka lakukan di atas pentas.
Strategi kerajaan iaitu untuk menggunakan mekanisme kill switch untuk mengawal persembahan di atas pentas juga tidak dipupuk. Saya rasa tak perlulah pakai kill switch mechanism. Ini kerana kita terdapat bahan-bahan yang lebih buruk dan lucah di Internet terbuka untuk ditonton oleh 33 juta orang rakyat Malaysia pada bila-bila masa, di mana-mana sahaja dan itu pun kerajaan tidak dapat sekat.
Apa sahaja yang dilakukan oleh seorang selebriti di atas pentas hanya boleh dilihat oleh mereka yang berada di stadium. Pengaruhnya terhadap rakyat Malaysia adalah amat kurang berbanding dengan pengaruh internet itu. Jadi apa gunanya perlu bersusah payah untuk mengadakan kill switch mechanism.
Dengan semua sekatan dan potensi-potensi risiko pembatalan last minute, saat akhir, selebriti kelas A antarabangsa akan berasa berat hati untuk membuat persembahan di Malaysia. Adalah dikesali bahawa selain daripada Singapura, Malaysia mempunyai infrastruktur terbaik untuk menganjurkan mana-mana konsert selebriti kelas A dirantau ini.
Namun dengan ketaksuban iaitu obsession PAS dan pembangkang memainkan isu perkauman dan agama yang menjadikan Malaysia kurang diingini oleh artis-artis ini membuat persembahan di Malaysia.
Dalam kes Taylor Swift ini, jikalau Singapura tidak mendapat hak eksklusif untuk mendapatkan membuat persembahan hanya di Singapura, saya ragu pengurusnya akan menganggap Malaysia sebagai tempat konsert seterusnya. Jika beliau membuat persembahan di Bukit Jalil, cara berpakaiannya di atas pentas sudah pasti akan dijadikan satu lagi obsession pemimpin PAS dan dijadikan bahan kritikan dan kutukan.
Oleh itu nasihat saya kepada pemimpin BERSATU yang ingin mempunyai lebih ramai selebriti kelas A antarabangsa untuk membuat persembahan di Malaysia, maka anda haruslah mulakan dengan mengawal obsession rakan-rakan anda dalam PAS dan fikiran kotor mereka.
Jika tidak, kita akan terus tewas kepada Singapura sebagai tempat tarikan artis-artis ini. Untuk pihak kerajaan, biar kita memeluk sikap yang lebih terbuka dan janganlah tunduk kepada permintaan-permintaan yang sempit dan ekstremis daripada pembangkang.
Satu lagi isu yang pendek sahaja. Saya ingin menyambut baik siasatan yang diambil terhadap Tun Mahathir dan Tun Daim berkenaan punca kekayaan mereka dan ahli keluarga mereka dan menyeru supaya tindakan itu disegerakan. Ini kerana setakat ini kekayaan yang dibongkarkan amatlah memeranjatkan. We know that they are rich, but we did not know that they are that rich.
Tuan Chong Chieng Jen - Stampin
Saya juga ingin tahu juga. Selain daripada kedua Tun itu, adakah lagi orang atau keluarga lain yang dijadikan target siasatan SPRM? Adakah SPRM akan mengarahkan penyiasatan terhadap sesetengah pihak di Wilayah Sarawak? Mengikut apa yang dibongkarkan oleh Sarawak Report dan juga kes mahkamah di antara isteri Allahyarham Tun Taib Mahmud, kekayaan ahli keluarganya adalah tidak kurang daripada kekayaan ahli keluarga kedua-dua Tun itu. Sekurang-kurangnya request for deklarasi aset perlu dibuat oleh SPRM terhadap mereka supaya kita orang Sarawak tahu berapa banyak harta-harta telah dikumpulkan sepanjang masa pentadbiran beliau.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Masa sudah tamat.
Tuan Chong Chieng Jen - Stampin
Oleh itu, saya sekali lagi saya seru kepada SPRM supaya mengambil tindakan. Itulah our basic right to know. Sekian, terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Terima kasih Yang Berhormat Stampin. Saya jemput Yang Berhormat Baling.
Tuan Hassan bin Saad - Baling
*Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Bismillahi Rahmani Rahim.
[Membaca doa] .* Tuan Yang di-Pertua, terima kasih kerana memberi peluang untuk saya mengambil bahagian dalam perbahasan Titah Diraja pada hari ini. Baling merafakkan sembah tahniah kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Permaisuri Agong atas pemasyhuran Tuanku sebagai Yang di-Pertuan Agong yang ke-17. Semoga Allah SWT merahmati pemerintahan Tuanku untuk kekal memayungi negara Malaysia yang tercinta ini.
Patik bersama rakyat Baling akan terus memberi ketaatan dan kesetiaan Kebawah Duli Tuanku. Baling juga ingin merakamkan penghargaan kepada Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang ke-16 yang telah pun memberi khidmat yang terbaik selama lima tahun kepada negara kita. Mudah-mudahan dipanjangkan umur dalam kebajikan.
Ramai di kalangan rakan-rakan Ahli Yang Berhormat bercakap tentang kos sara hidup. Saya yang berada dalam kawasan antara yang termiskin juga ingin menyebut tentang kos sara hidup yang begitu perit yang dirasakan oleh rakyat di Baling khususnya. Perkara ini amat membimbangkan rakyat ketika ini ialah kenaikan harga yang seolah-olah tidak dapat dibendung.
Walaupun kerajaan telah melaksanakan pelbagai inisiatif dan pelbagai cara untuk menurunkan harga barang, harga makanan asasi seperti beras yang tidak pernah berlaku dalam sejarah Malaysia merupakan satu perkara yang dibincangkan di mana-mana terutama sekali rakyat di bawahan dan juga termasuk makanan-makanan asas yang lain ikan, ayam, sayuran dan lain-lain lagi. Tidak ketinggalan juga kesan kepada rakyat terutama sekali golongan B40 dan M40.
Baru-baru ini, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Pulau Pinang ada mengatakan bahawa tiada sebarang rungutan atau aduan berhubung dengan kenaikan harga sejak SST dilaksanakan pada 1 Mac. Saya ingin menyebut bahawa meminta supaya pihak berkenaan turun sendiri dan selami sendiri, bertanyakan khabar kepada peniaga-peniaga kecil yang terpaksa menaikkan harga jualan mereka kerana barangan- barangan yang dijual itu adalah melambung begitu tinggi.
Sudah semestinya kenaikan harga barang ini akan memberi kesan kehidupan terutama sekali kepada pekerja-pekerja yang hanya bergaji minimum RM1,500 sebulan.
Apakah kaedah yang dilakukan oleh KPDN bagi mendapat respons rakyat terhadap kenaikan harga barang-barang? Ketelusan dalam menerima respons juga mestilah dilakukan secara komprehensif bukan menapis apa yang sedap didengar oleh kerajaan.
Bagi kawasan yang kebanyakan hidup di bawah paras kemiskinan seperti Baling amatlah dirasakan. Di mana, mereka hidup dengan menyewa rumah, terpaksa menanggung
Tuan Hassan bin Saad - Baling
anak tiga, empat orang bersekolah, pendapatan tidak menentu. Bila ditimpa musibah sakit dan sebagainya, di manakah mereka akan mendapat pelindungan ataupun pertolongan untuk membantu keluarga mereka?
Kebanyakan penduduk di kawasan Baling bergantung kepada getah. Sekarang ini, musim ini kalau tuan-tuan tengok di serata negara kita pokok-pokok getah ditimpa penyakit yang menyebabkan getah tidak banyak yang dapat diambil oleh penoreh. Maka, berkuranganlah pendapatan mereka dan mereka terpaksa menanggung apa yang mereka tanggung selama ini.
Oleh kerana itu, saya hendak mencadangkan kepada kerajaan supaya cukai SST yang dinaikkan dua peratus daripada enam kepada lapan ditangguhkan sementara dahulu kerana apabila cukai ini diumumkan dinaikkan, maka peniaga-peniaga telah pun mengambil kesempatan untuk menaikkan harga barang yang mereka jual. Lebih-lebih lagi apabila rakyat di Baling akan menyambung kedatangan Ramadan dan akan menyambut kedatangan Syawal. Di manakah mereka akan mendapat sumber untuk membeli pakaian, makanan menghadapi Ramadan dan Syawal?
Kedua yang ingin saya sampaikan ialah sudah beberapa kali, acap kali dibangkitkan dalam perbahasan tentang Rancangan Tebatan Banjir terutama sekali di Baling. Seperti yang semua kita ketahui, setiap kali datangnya musim banjir maka berlakulah banjir yang besar yang menimpa musibah ialah penduduk-penduduk kawasan yang berhampiran dengan sungai.
Pembinaan dua Empangan Sabo di Kampung Iboi pada tahun lepas masih dalam proses penilaian tender. Pembinaan empangan ini dapat memperlahankan aliran air Sungai Kupang dari Gunung Inas yang mampu mengurangkan impak banjir. Pembinaan ini dilakukan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) yang menelan kos sebanyak RM20 juta.
Menteri Besar Kedah telah mengadakan Mesyuarat Khas bersama pelbagai agensi berkaitan dengan Kerajaan Persekutuan tahun lalu bagi membincangkan langkah-langkah menangani masalah banjir di Baling. Difahamkan bahawa pelaksanaan RTB Baling yang membabitkan tiga fasa.
Proses pengeluaran tender bagi RTB Fasa 1 dengan kos RM15 juta yang sepatutnya siap pada Februari tahun ini. Manakala, RTB Baling Fasa 2 dengan kos RM160 juta lalu juga masih dalam proses pengalihan tender dan RTB Baling Fasa 3 pula masih dalam proses penyediaan kertas kerja untuk diangkat dalam permohonan rancangan yang akan datang.
Saya minta supaya Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menyatakan status RTB ini terutamanya di Baling sebagai persediaan untuk menghadapi musim hujan yang akan datang. Bagaimanakah status RTB terutama sekali jambatan-jambatan yang belum disiapkan selepas banjir?
Tuan Hassan bin Saad - Baling
Dua tahun lalu jambatan Kampung Tanjong, Iboi dan yang paling lama ialah Jambatan Kampung Padang China di kawasan Baling.
Ketiga, ini saya hendak cerita pengalaman tentang pusat khidmat saya. Di mana saya sewa pusat khidmat dan kadang-kadang bila saya datang ke pusat khidmat saya, saya tengok ada lima, enam orang yang sedang menunggu untuk hendak berjumpa dengan saya. Jadi, saya rasa bahawa pusat khidmat saya seperti klinik swasta. Jadi bila saya masuk, yang duk tunggu pun masuk jumpa saya.
Jumpa YB, nak minta tolong. Saya tanya ada apa mak cik? Ini minta tolong supaya YB tolong bayar bil elektrik saya RM1,800 tertunggak. Yang kawan seorang lagi pula anak dia bersalin tak dapat hendak bayar duit.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Sila gulung.
Tuan Hassan bin Saad - Baling
Pohon juga, dan banyak lagi lah. Kadang-kadang saya berasa sedih tengok pengundi-pengundi saya. Jadi, saya hanya mampu dalam hati saya kata apa? Bersabar lah wahai pengundi Baling. Kamu sabar, kamu akan dapat pahala yang banyak di akhirat besok.
Tuan Hassan bin Saad - Baling
Disebabkan kerana kami daripada pihak pembangkang ini tidak di beri peruntukan yang sepatutnya kami terima, itulah yang kami hadapi sekarang. Ada di kalangan kami seperti mana yang disebut oleh Kuala Krau terpaksa masuk dalam golongan B40 dan ada di kalangan wakil rakyat kami, rakan-rakan kami terpaksa berhutang untuk memberi bantuan kepada rakyat-rakyat yang datang untuk meminta bantuan.
Jadi, apalah salahnya pihak kerajaan mempertimbangkan peruntukan ini kerana peruntukan ini bukan untuk dipolitikkan tetapi untuk disampaikan. Untuk kita beri kepada rakyat-rakyat yang memerlukan. Jadi...
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Masa sudah tamat terima kasih.
Tuan Hassan bin Saad - Baling
Terima kasih, saya mohon menyokong.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Terima kasih Yang Berhormat Baling. Saya jemput Yang Berhormat Tanjong Manis.
Tuan Yusuf bin Abd Wahab - Tanjong Manis
Terima kasih Yang Berhormat Puan Yang di-Pertua. Bismillahi Rahmani Rahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera dan Salam Malaysia Madani. Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Puan Yang di-Pertua kerana memberi peluang kepada saya untuk turut serta berucap bagi membahaskan Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong semasa perasmian Mesyuarat Pertama, Penggal Ketiga, Parlimen Ke-15.
Saya mewakili rakyat di Tanjong Manis ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar kerana telah dilantik menjadi Yang di- Pertuan Agong yang Ke-17. Saya juga ingin menzahirkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang dan Tengku Ampuan Pahang yang telah menaungi negara dan rakyat jelata selama lima tahun yang lepas dengan adil dan bijaksana.
Puan Yang di-Pertua, seperti Ahli-ahli Yang Berhormat yang lain, saya juga turut menjunjung kasih di atas keprihatinan Seri Paduka Baginda Tuanku yang menyentuh pelbagai isu dan masalah rakyat di negara kita, termasuk di kawasan Parlimen Tanjong Manis.
Keprihatinan baginda Tuanku antara lain ada menyentuh mengenai langkah-langkah demi membela dan menjamin kesejahteraan serta kemakmuran rakyat baginda. Patik menjunjung kasih dan akur taat setia dengan Titah Seri Paduka Baginda Tuanku supaya berusaha untuk membela nasib rakyat kawasan saya di Tanjong Manis.
Puan Yang di-Pertua, isu pertama yang saya kupaskan dalam perbahasan saya pada kali ini adalah berkenaan dengan isu sekolah-sekolah daif di kawasan Tanjong Manis. Kira- kira 90 peratus daripada Parlimen Tanjong Manis adalah kawasan luar bandar. Selain daripada Bandar Sarikei dan Bintangor yang terdiri daripada kampung-kampung kecil dan rumah-rumah panjang yang agak bertaburan di kawasan yang luasnya hampir tiga kali ganda negeri Perlis.
Kebanyakan sekolah-sekolah di kawasan luar bandar ini sudah berusia lebih daripada 50 tahun. Kebanyakan struktur bangunan sekolah ini adalah diperbuat daripada kayu dan papan. Seperti yang kita sedia maklum, bangunan kayu dan papan ada jangka hayat yang tertentu serta tidak kekal lama. Perlu diperbaiki atau ditukar baharu dari semasa ke semasa.
Sudah kerap kali berlaku keruntuhan lantai, kerosakan kerusi meja, kebocoran atap dan kerosakan-kerosakan kecil yang lain. Selalunya kerosakan begini akan dibaiki oleh pihak sekolah atau pihak PPD menggunakan dana sedia ada atau mendapatkan bantuan daripada wakil rakyat.
Namun disebabkan keadaan sekolah yang sudah uzur, kerja-kerja membaiki sekolah, kerosakan pada sekolah menjadi semakin kerap dan tidak mampu ditanggung oleh
Tuan Yusuf bin Abd Wahab - Tanjong Manis
pihak sekolah kerana mengalami masalah kekurangan dana kewangan dan tenaga kerja.
Sebagaimana Titah Seri Paduka Baginda Tuanku, “melentung aur biarlah dari rebung” begitulah juga cara kita membentuk generasi yang akan datang.
Dengan membekalkan ilmu dan pendidikan yang sempurna kepada mereka sedari kecil. Apabila sekolah dalam keadaan baik dan tidak mengalami kerosakan dan cukup dengan kemudahan-kemudahan yang diperlukan, maka suasana pengajaran dan suasana pembelajaran akan menjadi lebih selesa dan lancar. Pelajarnya akan dapat menimba ilmu dengan lebih berkesan dan efektif.
Oleh itu, saya memohon kepada Yang Berhormat Menteri Pendidikan supaya memberi perhatian untuk membaiki sekolah-sekolah daif ini secara berperingkat-peringkat lah– kalau tidak dapat sekali gus. Di Tanjong Manis terdapat kira-kira 20 buah sekolah yang memerlukan perhatian daripada Kementerian Pendidikan untuk di baik pulih.
Kalau saya hendak sebut satu per satu nama sekolah-sekolah tersebut terlalu panjang senarainya. Saya juga tidak menafikan bahawa ada beberapa buah sekolah rendah dan sekolah menengah yang masih baharu dan lengkap dengan kemudahan-kemudahan di Tanjong Manis. Untuk itu, saya sangat lah berterima kasih kepada Kementerian Pendidikan kerana menyediakan sekolah-sekolah yang baharu dan lengkap ini.
Untuk makluman Yang Berhormat Menteri juga, bagi menggantikan blok-blok sekolah yang rosak ini saya ingin mencadangkan penggunaan teknologi pembinaan yang terkini dan moden dengan menggunakan sistem IBS ataupun industrialized building system dengan izin– yang telah terbukti boleh menjimatkan masa, kos pembinaan dan juga tenaga kerja.
Di Sarawak kini sudah ada beberapa buah kilang yang boleh menghasilkan komponen-komponen IBS yang boleh di hantar ke sekolah-sekolah yang memerlukan dengan menggunakan Jalan Pan-Borneo atau jalan pesisir pantai yang sudah hampir siap sepenuhnya. Komponen-komponen IBS ini boleh juga dihantar dengan menggunakan jalan sungai atau menggunakan tongkang, sekiranya perlu.
Pihak kementerian disarankan untuk duduk berbincang dengan CIDB Malaysia iaitu sebuah agensi di bawah Kementerian Kerja Raya tentang penggunaan sistem IBS ini untuk mendapatkan cara penyelesaian terbaik. Untuk memastikan lebih banyak sekolah dapat dibaiki atau di bina baharu dengan lebih kos efektif dan menjimatkan masa.
Puan Yang di-Pertua, saya juga ingin membangkitkan berkenaan projek pembinaan sekolah yang terbengkalai di Tanjong Manis iaitu projek bina baharu bangunan sekolah di SK Penibong dan SK Serdeng. Kerja-kerja membina blok kelas baharu di dua buah sekolah ini telah terhenti dan separuh siap sejak beberapa tahun lepas. Pihak kontraktor sama ada telah meninggalkan tapak projek atau telah ditamatkan kontrak oleh kerajaan kerana gagal menyiapkan projek seperti yang sepatutnya.
Di SK Penibong contohnya, keadaan pembinaan yang separuh siap dan terbiar ini adalah merbahaya kepada keselamatan para pelajar, kepada pihak sekolah dan juga kepada ibu bapa. Cerucuk simen dan rangka besi yang sudah berkarat terbiar begitu sahaja. Malah, adalah merbahaya kepada orang awam dan sangat menyakitkan mata memandang.
Oleh sebab itu saya ingin memohon sedikit penjelasan tentang status kedua-dua buah projek tersebut dan sekiranya perlu, Kementerian Pendidikan hendaklah mengambil langkah segera untuk menyiapkan projek bina baharu blok kelas di sekolah-sekolah tersebut.
Puan Yang di-Pertua, saya ingin berkongsi mengenai sebuah lagi sekolah yang sudah diisytiharkan oleh pihak JKR Sarawak sebagai sekolah yang tidak selamat untuk digunakan. Sekolah yang dimaksudkan itu ialah Sekolah Kebangsaan Orang Kaya Muda Pakeri, Paloh. Sekolah ini didapati mengalami kerosakan dan keretakan yang serius pada struktur utama bangunannya dan sangat berbahaya kepada warga sekolah untuk menggunakannya.
Tuan Yusuf bin Abd Wahab - Tanjong Manis
Proses penyuraian murid sedang diuruskan oleh pihak sekolah bersama PPD dan dijangka akan selesai sebelum musim persekolahan yang akan datang. Beberapa bangunan sedia ada seperti kantin dan asrama akan digunakan sebagai bilik kelas gantian sementara.
Tuan Yusuf bin Abd Wahab - Tanjong Manis
Beberapa buah kontena yang diubahsuai juga diperlukan untuk menjadi bilik kelas sementara. Oleh yang demikian, saya memohon lagi kepada Yang Berhormat Menteri supaya memberikan peruntukan secukupnya untuk proses penyuraian dan penyediaan bilik- bilik kelas sementara ini demi memastikan proses pengajaran dan pembelajaran pelajar di sekolah tersebut tidak terganggu dan dapat diteruskan.
Saya tahu Yang Berhormat Menteri adalah seorang yang sangat mengambil berat dan prihatin tentang masalah-masalah pendidikan. Saya dengan rasa rendah diri ingin menjemput Yang Berhormat Menteri untuk turun melawat sekolah-sekolah di Tanjong Manis dan melihat sendiri keadaan sekolah-sekolah yang disebutkan sebentar tadi. Saya juga mendapat tahu bahawa Yang Berhormat Menteri akan mengadakan lawatan ke daerah Daro pada bulan Jun nanti. Sudilah kiranya Yang Berhormat Menteri datang juga ke Tanjong Manis yang bersebelahan saja dengan daerah Daro. Semoga dengan kehadiran Yang Berhormat Menteri dapat juga memberi kegembiraan kepada pelajar, ibu bapa dan guru tentang bertapa prihatinnya Yang Berhormat Menteri tentang isu pendidikan terutama sekali di kawasan luar bandar.
Tan Sri Yang di-Pertua, Titah Seri Paduka Baginda juga ada menyentuh berkenaan keadaan hidup rakyat Baginda dan berharap semua Ahli Dewan akan menumpukan usaha untuk membela nasib seluruh rakyat Malaysia. Di Parlimen Tanjong Manis, antara pekerjaan tradisi rakyatnya selain menjadi nelayan adalah penanam padi sawah kerana keadaan geografinya yang luas dan rata, serta taburan hujan yang mencukupi. Sawah padi diusahakan oleh orang kampung atau orang rumah panjang dengan cara tradisional dan sawah padi masih diusahakan dari dahulu hingga sekarang di beberapa kampung atau rumah panjang yang tertentu.
Kerajaan Sarawak baru-baru ini telah berusaha untuk memperkenalkan benih padi baharu yang mampu menghasilkan tuaian yang lebih kerap iaitu sehingga lima kali tuaian dalam tempoh dua tahun. Sekiranya usaha ini berjaya, sudah pasti hasil tuaian dan jualan padi yang lebih banyak boleh membawa golongan pesawah keluar daripada garis kemiskinan. Usaha sebegini akan mengurangkan kebergantungan kepada import beras dan memastikan keterjaminan makanan untuk rakyat Sarawak termasuk rakyat di Tanjong Manis.
Namun, untuk mencapai matlamat membantu golongan pesawah ini saya percaya infrastrukturnya pertanian harus berada dalam keadaan memuaskan dan berfungsi seperti sepatutnya. Untuk makluman, infrastruktur pertanian seperti ban pertanian, saluran pengairan dan pintu air yang sedia ada di Tanjong Manis telah dibina lama dahulu dan faktor penuaan telah banyak membawa kerosakan kepada struktur tersebut seperti kerosakan ataupun pemendapan ban, saluran yang tersumbat ataupun tersekat dan pintu air yang rosak ataupun sudah runtuh. Sedikit lagi Puan Yang di-Pertua.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Sila gulung. Tak cukup masa.
Tuan Yusuf bin Abd Wahab - Tanjong Manis
Tak cukup masa. Sekejap lagi. Jika kerosakan pada struktur pertanian ini tidak dibaiki segera. Maka usaha kerajaan untuk membantu golongan pesawah ini keluar daripada garis kemiskinan dan mengurangkan import beras akan menemui kegagalan dan menjadi sia-sia sahaja. Oleh itu, saya mohon sekali lagi kepada Yang Berhormat Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan supaya mengambil langkah-langkah segera untuk membaiki kerosakan infrastruktur pertanian ini. Ini sejajar dengan seruan dalam Titah Ucapan Seri Paduka Baginda Tuanku, supaya kerajaan membela nasib rakyat di seluruh negara.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Masa sudah tamat.
Tuan Yusuf bin Abd Wahab - Tanjong Manis
Puan Yang di-Pertua, sekian sahaja perbahasan saya. Saya mohon menyokong Titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Terima kasih Yang Berhormat Tanjong Manis. Saya jemput Yang Berhormat Tanjong Karang.
Dato' Dr. Zulkafperi bin Hanapi - Tanjong Karang
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam Malaysia Madani. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, kerana telah memberi laluan untuk saya turut serta dalam Ucapan Junjung Kasih.
Pertamanya, saya mohon maaf kerana suara saya berada dalam keadaan tidak baik.
Tanjong Karang merafak sembah dan menjunjung kasih serta merakamkan ucapan tahniah atas pemasyhuran dan mengucapkan selamat bersemayam ke atas Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah binti Almarhum Sultan Idris Shah dan mendoakan semoga dengan naungan dan limpah rahmat Tuanku Kerajaan Madani ini kekal stabil, aman makmur dan mampu melancarkan pemulihan ekonomi Malaysia untuk menciptakan kecemerlangan.
Tuan Yang di-Pertua, nikmat aman dan kesejahteraan adalah sangat didambakan oleh semua rakyat jelata supaya semua dapat hidup berkeluarga dalam keadaan rukun, damai dan harmoni sesama pelbagai kaum, anutan agama dan interaksi yang baik di antara kaum dan pelbagai runtun budaya.
Tuan Yang di-Pertua, patik menjunjung tinggi Titah Tuanku untuk memastikan kestabilan politik dikekalkan. Jadi patik Ahli Parlimen Tanjong Karang bersama lima ahli Parlimen daripada Perikatan Nasional dan termasuk yang terbaru seorang ADUN Perikatan Nasional Selangor yang merupakan mantan Ketua Badan Pimpinan Bersatu negeri Selangor telah memberikan sokongan kepada Datuk Menteri Besar Selangor semalam. Jadi saya ucapkan sekalung tahniah kepada Gombak.
Tuan Yang di-Pertua, ini telah membuktikan bahawa pindaan perlembagaan Bersatu baru-baru ini tidak boleh menghalang mana-mana Ahli Parlimen atau ADUN untuk menyokong PMX. Tuan Yang di-Pertua, kami telah mengambil inisiatif ini sebagai tanggungjawab dan amanah dengan menyokong PMX demi memastikan politik yang stabil sepanjang penggal pentadbiran Kerajaan Perpaduan supaya pemerintahan negara dapat dilaksanakan tanpa sebarang ganggu gugat. Demi kepentingan rakyat yang sangat terkesan dengan situasi ekonomi semasa dan semoga Kerajaan Madani mempunyai kekuatan bagi memulihkan ekonomi negara dan mengangkat martabat negara Malaysia di persada dunia.
Tuan Yang di-Pertua, kami redha dan memaafkan segala kata-kata nista dan penghinaan yang kami terima bukan saja dari rakyat jelata di luar sana tetapi lebih menyedihkan sahabat-sahabat kita yang berada di dalam Dewan yang mulia ini. Seolah-olah mereka tak memahami apa yang kami lakukan ini adalah demi kebajikan rakyat di kawasan kami.
Tuan Yang di-Pertua, perkara kedua yang penting selepas makanan adalah kesihatan. Orang kata tak guna ada duit kalau tak sihat. Untuk kekal sihat usaha mesti dimulakan dari sekarang dan memerlukan kesungguhan dan keyakinan dan disiplin yang konsisten. Tuan Yang di-Pertua, Skim Perubatan Madani (SPM) memang terbaik untuk rakyat tetapi masalahnya ia adalah sekadar peruntukan one-off sahaja. Perbelanjaannya sangatlah besar dan ia langsung tidak mampan dan tidak lestari dan tidak mampu untuk menyelesaikan masalah kesihatan rakyat dalam jangka panjang. Jadi Malaysia memerlukan pemeriksaan kesihatan yang lebih tuntas.
Tuan Yang di-Pertua, kita memang ada Kementerian Kesihatan yang telah diberikan bajet kedua terbesar selepas KPM tetapi KKM masih terbeban dengan pelbagai masalah asas dan tanggungan beban kewangan yang sangat besar untuk menaik taraf perkhidmatan kesihatan itu sendiri dan bebanan tanggungan pembiayaan perubatan rakyat. Fokus KKM sekarang untuk beralih kepada primary healthcare. Ini adalah lebih bertepatan dan munasabah supaya dapat menyantuni semua rakyat tetapi pembiayaan perubatan dan tertiary care wajarlah sepatutnya ditanggung bersama oleh majikan, kerajaan dan rakyat di bawah satu Skim Insurans Kesihatan Kebangsaan (National Health Insurance Scheme) sepenuhnya.
Tuan Yang di-Pertua, izinkan saya mencadangkan di Dewan yang mulia ini supaya beban pembiayaan perubatan rakyat di ekstrak ataupun dikeluarkan daripada Kertas Putih Kesihatan untuk dilaksanakan segera melalui National Health Insurance Scheme. Kita tidak
Dato' Dr. Zulkafperi bin Hanapi - Tanjong Karang
boleh tunggu esok, tunggu Rancangan Malaysia Ketiga Belas, Empat Belas, Lima Belas tetapi Kerajaan Madani perlu laksanakannya dari sekarang.
Kita boleh melihat kepada Indonesia yang telah bermula dari kosong pada tahun 2014 dan dalam tempoh sepuluh tahun sahaja mereka telah berjaya melindungi 140 juta penduduknya dengan National Health Insurance Scheme yang dikenali sebagai Badan Penyelenggara Jaminan Sosial (BPJS) yang memberikan jaminan kesihatan untuk masyarakat dan seluruh warganegara Indonesia di bawah kawal selia langsung oleh institusi Presiden iaitu bukan di bawah Kementerian Kesihatan Indonesia.
Dato' Dr. Zulkafperi bin Hanapi - Tanjong Karang
WHO telah mengiktiraf Indonesia di antara negara di dunia yang terbesar berjaya melaksanakan National Health Insurance Scheme. Kita juga boleh melihat dan belajar dari negara Turki yang dulunya mengamalkan perkhidmatan kesihatan sebagaimana kita. Akan tetapi pada tahun 2003, mereka telah melakukan program transformasi kesihatan dengan menubuhkan Social Security Institution dan melancarkan National Health Insurance-nya dan sekarang perkhidmatan kesihatan Turki telah berjaya melindungi hampir 100 peratus rakyatnya di bawah National Health Insurance Scheme dan adalah di antara yang paling cemerlang di dalam dunia.
Tuan Yang di-Pertua, nikmat sihat itu tidak terhitung nilainya. Sihat adalah tanggungjawab semua orang atau lebih tepat lagi sihat memerlukan tanggungjawab sosial bersama semua pihak. Di sinilah datangnya keperluan National Health Insurance Scheme yang mana rakyat sama-sama bertanggungjawab dan membantu antara satu sama lain dalam hal penjagaan kesihatan. Yang sihat membantu yang sakit, yang senang membantu yang susah. Rangkuman ini boleh diterjemahkan dan dilaksanakan segera oleh Kerajaan Madani dalam pelan besar negara di bawah National Health Insurance Scheme yang mana semua pihak bergembleng tenaga terlibat dalam kontribusi pembiayaan kesihatan negara.
Sesuai dengan itu, pihak kerajaan, pihak majikan dan semua rakyat perlu berkongsi bersama- sama membayar premium untuk pelaksanaan national health insurance ini.
Untuk memastikan pelaksanaan ini meliputi semua rakyat, maka yang B40 dan miskin tegar wajar diberi subsidi untuk bayaran premium national health insurance. Ini amat bersesuaian dan bertepatan dengan konsep subsidi bersasar Kerajaan Madani tidak seperti keadaan sekarang yang mana hampir semua perkhidmatan kesihatan ditanggung oleh pihak kerajaan. Untuk pelaksanaan yang pantas dan berkesan tanpa banyak red tape, national health insurance ini wajar diletakkan sebagai satu agensi khusus langsung di bawah Jabatan Perdana Menteri, Malaysia. Kalau diperlukan, saya sendiri bersedia menawarkan diri untuk melaksanakannya atas arahan dan mandat PMX demi kepentingan dan kebajikan kesihatan rakyat. Selama hampir setahun saya telah menyuarakan perkara ini tapi nampaknya tidak ada apa-apa perubahan yang dilakukan.
Tuan Yang di-Pertua, seterusnya Tanjong Karang memang terkenal dengan sawah padi utama di Selangor dan Malaysia amnya sejak sebelum merdeka lagi tetapi sekarang pekan Tanjong Karang sangat amat dahagakan pembangunan. Kami seolah-olah tertinggal lebih 30 tahun dalam banyak perkara sehinggakan kami di Tanjong Karang masih dikenal sebagai pekan koboi dengan sejarah bekas jelapang padi utama negara sahaja. Industri padi Tanjong Karang juga jauh ketinggalan dari jiran sebelah Sekinchan. Tanjong Karang memerlukan suntikan baharu bagi dibangunkan sebagai kawasan sawah padi moden yang berimpak tinggi. Sistem saliran yang lama perlu ditingkatkan dan inisiatif rawatan tanah perlu dilakukan dan penumpuan kepada pengurusan berskala besar dan komersial bagi menjamin penghasilan padi yang baik dan berekonomi tinggi dalam memastikan beras putih tempatan mencapai sasaran 100 peratus XXL dalam tempoh tiga ke lima tahun.
Industri padi negara ini perlu pemodenan dan digarap atau dibangunkan sesuai dengan perkembangan teknologi bagi memastikan keselamatan makanan negara. Akhirnya, kenyataan dan fakta sekarang Tanjong Karang seolah-olah biarkan atau dipinggirkan begitu sahaja dek arus pembangunan negara. Jadi saya sebagai Ahli Parlimen sekarang mendesak 100 peratus perhatian khusus dan tumpuan wajar dipertimbangkan bagi membangunkan Tanjong Karang dan membawa lebih banyak industri berimpak tinggi dengan penumpuan sebagai bandar pintar yang berkonsepkan bandar agrotourism.
Dato' Dr. Zulkafperi bin Hanapi - Tanjong Karang
Akhirnya, Tanjong Karang ingin menegaskan dan memperingatkan akan kekecewaan Tuanku Yang di-Pertuan Agong tentang perpaduan rakyat yang masih boleh dipersoalkan walaupun telah lebih 60 tahun Malaysia Merdeka. Harapan Baginda Tuanku, kita mesti melihat kepada proses meluntur buluh itu mestilah dari rebungnya. Jadi usaha ke arah pemantapan perpaduan rakyat mesti diambil tindakan segera dan barulah perkara 3R dapat dihormati, difahami, dijiwai oleh semua rakyat. Isu-isu melibatkan 3R seperti Titah Tuanku wajar dibendung sepenuhnya dari menimbulkan keresahan rakyat.
Sekian saya sudahi setakat itu dan Tanjong Karang mohon menyokong Titah Tuanku Yang di-Pertuan Agong. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Terima kasih Yang Berhormat Tanjong Karang. Saya jemput Yang Berhormat Cheras.
Tuan Tan Kok Wai - Cheras
Terima kasih Puan Yang di-Pertua kerana memberikan penghormatan saya sebagai pembahas terakhir untuk menyertai perbahasan Menjunjung Kasih Titah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong.
Puan Yang di-Pertua, sementara dunia kita sedang mencari semula hala tujunya dalam era pasca wabak COVID-19, cabaran-cabaran yang disaksikan di peringkat global dan juga di dalam negara kita, kini menjadi semakin mendesak isu kemiskinan dan jurang kekayaan, darurat, iklim, kerosakan alam sekitar, kehabisan sumber-sumber bumi dan laut, krisis migran, tekanan geopolitik, perang dan konflik di pelbagai pelosok dunia terus memberikan kesan kepada kita secara langsung atau tidak langsung.
Kita di Malaysia pada hari ini juga sedang berhadapan dengan satu masa yang sukar dan mencabar dalam membentuk sebuah Malaysia baharu perlu ada satu kesedaran baru.
Kita perlu pastikan rasisme, ekstremisme, keagamaan dan rasuah tidak mempunyai sebarang tempat dalam masa hadapan negara kita ini. Semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum atau agama, tidak sepatutnya terasa seakan-akan mereka sedang diserang atau diketepikan dari masyarakat. Apa yang membuat negara kita benar-benar hebat adalah kepelbagaian kita.
Negara kita bukan sahaja perlu terus maju dengan makmur tetapi apa yang lebih penting lagi, kita perlu maju dengan keamanan dan keharmonian. Kerajaan Perpaduan pada hari ini perlu memimpin perubahan dalam negara kerana kita adalah pendukung harapan rakyat untuk membawa perubahan yang lebih baik.
Puan Yang di-Pertua, reformasi institusi dan dasar-dasar yang progresif adalah penting untuk membolehkan negara kita terus maju ke hadapan dan perkara ini perlu diberikan keutamaan oleh pihak kerajaan. Dengan konsep tadbir urus baik yang dipromosikan oleh Kerajaan Madani pada hari ini, sekiranya dilaksanakan sejujur dan seikhlas mungkin, kita pastinya akan berjaya menawarkan satu masa hadapan yang cerah kepada rakyat untuk mengembalikan kegemilangan negara kita. Kita perlu bebaskan diri kita dari perangkap negara berpendapatan pertengahan dengan izin, middle-income trap untuk mencapai status negara maju tidak lama lagi. Kita tidak boleh mengubah masa lepas, sebaliknya kita mampu untuk menjayakan sebuah masa hadapan yang lebih baik.
Rangka Ekonomi Kerajaan Madani telah menetapkan sasaran-sasaran yang bercita- cita tinggi untuk negara kita menjelang tahun 2030. Antara sasaran ini adalah untuk Malaysia menjadi salah satu dari 30 ekonomi terbesar dunia, 12 negara teratas dunia dari segi daya saing global, 25 keluarga teratas dunia dalam Indeks Persepsi Rasuah dan 25 negara teratas dunia dalam Indeks Pembangunan Manusia. Semua sasaran ini dengan kadar gaji dan pendapatan negara yang lebih tinggi di mana tidak ada mana-mana rakyat Malaysia yang hidup dalam kemiskinan hanya mampu dicapai dengan tadbir urus yang baik.
Dengan sokongan kuat dari Dewan Yang Mulia ini, kerajaan patut manfaatkan tiga tahun yang akan datang ini sebaik mungkin untuk melaksanakan agenda-agenda reformasi yang kita telah janjikan kepada rakyat supaya kita dapat membawa perubahan yang lebih baik untuk negara.
Tuan Tan Kok Wai - Cheras
Puan Yang di-Pertua, perkara yang saya ingin sentuh mengenai isu polarisasi antara hubungan di antara kumpulan etnik dan agama di Malaysia. Sejak Kerajaan Perpaduan mula menggalas tanggungjawab pentadbiran negara, terdapat peningkatan cubaan untuk mewujudkan naratif dan persepsi yang ada sesetengah kumpulan etnik atau agama berada dalam keadaan yang terancam. Persepsi dan naratif ini dijaja oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab demi kepentingan peribadi dan kelangsungan hidup politik mereka sendiri.
Amat malang sekali apabila ada pihak-pihak tidak bertanggungjawab ini yang tidak ada rasa serba salah langsung untuk merosakkan hubungan antara kaum dalam kalangan masyarakat majmuk di negara kita. Perkara ini telah berlanjutan terlalu lama sehinggakan apa-apa dasar- dasar baik yang mahu dipertimbangkan kerajaan seperti menambahbaikkan sistem tatakelola pentadbiran kerajaan tempatan dan pemeliharaan warisan-warisan kebudayaan negara kita seperti pengiktirafan bak kut teh sebagai makanan warisan disoal dan dikutuk akibat permainan politik perkauman bagi mereka ini.
Tuan Tan Kok Wai - Cheras
Terdapat juga ahli-ahli politik malah sesetengah ahli akademik seperti Teo Kok Seong yang mengatakan sekolah vernakular satu warisan unik sistem pendidikan negara kita yang menunjukkan latar belakang masyarakat majmuk sebagai punca rasisme dalam negara sedangkan mereka ini sendiri yang menyebarkan perasaan rasisme dalam kalangan rakyat dengan memainkan isu-isu perkauman bertentangan dengan semangat dan prinsip Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara. Mahkamah Rayuan telah pun memutuskan bahawa penubuhan dan kewujudan sekolah vernakular adalah sah di sisi Perlembagaan dan keputusan ini kekal selepas Mahkamah Persekutuan menolak permohonan rayuan daripada pihak-pihak yang cuba untuk mengatakan sekolah-sekolah vernakular yang ada ini sebagai tidak sah.
Tuan Yang di-Pertua, oleh itu saya ingin sekali lagi menggesa kepada kerajaan untuk menyambut Titah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong untuk membendung masalah polarisasi hubungan antara kaum di negara kita ini. Malah Tuanku sendiri telah bertitah kepada kita semua untuk berhenti memutarbelitkan atau mempolitikkan asas Perlembagaan dalam perkara yang berkaitan kedudukan agama Islam dan kebebasan beragama untuk agama-agama lain di dalam Persekutuan.
Saya harap Ahli-ahli Yang Berhormat dalam Dewan yang mulia ini dapat beringat bahawa kita telah mengangkat sumpah untuk memelihara, melindungi, dan mempertahankan Perlembagaan kita. Ketika seluruh dunia bercakap tentang AI, janganlah kita masih dengan isu perkauman. Jadi marilah kita sama-sama menolak political dan cuba meracuni hubungan aman damai dan keharmonian antara kumpulan etnik di Malaysia supaya kita dapat terus maju sebagai sebuah negara hebat dunia yang bersatu padu.
Tuan Yang di-Pertua, satu perkara yang saya ingin mengecam sekeras-kerasnya iaitu mengenai satu kejadian surat layang ugutan yang telah dilemparkan ke rumah Menteri KPKT, Yang Berhormat Nga Kor Ming dan saya gesa pihak polis untuk mengambil tindakan pantas untuk mengenal pasti dalang di sebalik perbuatan ini. Pagi tadi terdapat satu insiden di mana ada pihak yang berniat jahat telah membaling pamphlet, pamphlet bertulis Nga Kor Ming, jangan cabar Islam di hadapan kediaman ibu bapa Yang Berhormat Nga.
Sebelum ini juga kita telah menyaksikan perbuatan melampau di mana ada orang yang jahat yang telah membakar rumah Yang Berhormat Beruas, Yang Berhormat Ngeh Koo Ham yang telah menyebabkan kerosakan terhadap rumah dan kenderaan beliau. Ini adalah satu ancaman terhadap nyawa beliau dan keluarganya dan merupakan satu cubaan bunuh
Tuan Syahredzan bin Johan - Bangi
YB.
Tuan Tan Kok Wai - Cheras
Masa suntuk. Saya tidak ada masa.
Tuan Syahredzan bin Johan - Bangi
[Ketawa]
Tuan Tan Kok Wai - Cheras
Perbuatan-perbuatan ini jelas melampaui batas kemanusiaan. Sekiranya ada isu yang tidak berpuas hati mana-mana pihak yang tidak berpuas hati ini sepatutnya berdialog secara berhemah untuk menyelesaikannya dan bukannya menggunakan intimidasi terhadap seorang wakil rakyat atau ahli-ahli keluarganya.
Tuan Tan Kok Wai - Cheras
Polarisasi hubungan antara kaum dan agama yang semakin parah membawa kepada perbuatan-perbuatan keji sebegini perlulah ditolak dan dikecam oleh semua rakyat Malaysia yang patriotik. Saya menyeru Dewan untuk turut bersama-sama mengecam ugutan yang melampau dan tidak bertamadun ini. Sekian perbahasan menjunjung kasih Titah Diraja saya. Tuan Yang di-Pertua, saya mohon menyokong.
Tuan Syahredzan bin Johan - Bangi
YB Cheras. YB Cheras, sorry. Saya Bangi mohon mencelah sikit.
[Ketawa] Bangi mohon mencelah tadi sebenarnya. Boleh tak?
Tuan Tan Kok Wai - Cheras
Boleh, boleh.
Tuan Syahredzan bin Johan - Bangi
Boleh, boleh. Sikit sahaja. Berkenaan dengan ancaman dan juga intimidasi terhadap YB Beruas dan juga YB Teluk Intan. Saya percaya ini satu keadaan yang kita tak dapat terima sebagai Ahli Parlimen, tak kiralah dari sana ataupun sebelah sini. Jadi, saya berharap bahawa kita dapat bersatu hati untuk mengatakan bahawa tindakan seperti ini tidak boleh diterima dan tidak ada toleransi bagi perbuatan-perbuatan seperti ini. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Terima kasih Yang Berhormat Cheras. Ahli-ahli Yang Berhormat, Mesyuarat Dewan hari ini ditangguhkan sehingga jam 10.00 pagi, hari Isnin, 11 Mac 2024.
[Tepuk]
[Dewan ditangguhkan pada pukul 5.35 petang]