Katalog Hansard
[Tuan Yang di-Pertua **mempengerusikan Mesyuarat****]
Tuan Yang di-Pertua
Yang Berhormat Menteri Kewangan, dipersilakan.
Menteri Kewangan - Dato' Seri Anwar bin Ibrahim
Saya minta maaf.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera. Tan Sri Yang di-Pertua, saya mohon mencadangkan supaya rang undang-undang bernama “Suatu Akta bagi menggunakan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Disatukan untuk perkhidmatan bagi tahun 2024 dan bagi memperuntukkan jumlah wang itu untuk perkhidmatan bagi tahun itu” dibaca kali kedua sekarang.
Tuan Yang di-Pertua
Silakan.
Dato' Seri Anwar bin Ibrahim
Bismillahi Rahmani Rahim. Firman Allah SWT dalam Al-Quran, surah Al-Qasas, ayat 77, [Membaca sepotong ayat Quran] Maksudnya, “Dan kejarlah ganjaran yang telah dikurniakan Allah kepadamu di akhirat kelak. Akan tetapi janganlah kau lupakan bahagianmu (yakni keperluan dan bekalan) di dunia ini; dan berbuat ihsanlah sebagaimana Allah berlaku ihsan kepadamu; dan janganlah engkau melakukan fasad di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang membuat kerosakan”.
Pesanan Allah SWT kepada umat manusia amat mengesankan. Harus ada tekad merencana kaedah bagi menjamin kesejahteraan warga dalam zaman yang serba galau dan mencabar memandangkan marcapada tidak lagi seperti dahulukala.
Kini kita menempuh satu fasa yang luar biasa aneh dan fasa ini tentunya belum terjangka dalam sejarah peradaban manusia. Sementelahan warga dunia masih belum kebah dari cengkaman wabak COVID-19, tidak hanya dari aspek kesihatan tetapi hampir seluruh sendi kekuatan negara dan sistem masyarakat. Maka berdepan dengan era pascanormal (post-normal times) yang dicirikan oleh keberantakan (chaos), kerumitan
(complexity), pertentangan (contradiction) akan bantu kita mengemudi jalan keluar.
Kemelut yang tercetus mempunyai kelajuan (speed), cakupan (scope), skala
(scale) dan keserentakan (simultaneity) yang membimbangkan. Akibatnya adalah memangsakan rakyat, merosakkan ekosistem dan menggugat rantaian bekalan makanan.
Justeru itu, kita harus melakar dan menghayati dengan memperbaiki ketempangan dalam sistem ekonomi negara. Kita mulakan dengan memperbaiki tata kelola, sistem tadbir urus dan membanteras rasuah. Antara contoh ketara adalah pelaksanaan sistem subsidi pukal yang turut memanfaatkan golongan elit dan maha kaya. Seharusnya kebijakan ekonomi terarah pada pertumbuhan dan pemerataan ekonomi.
Dato' Seri Anwar bin Ibrahim
Namun, apa yang berlaku adalah jumlah subsidi besar yang memberikan manfaat kepada golongan kaya. Adalah diharapkan dengan memperbaiki ketirisan subsidi, hasil dapat diagihkan kepada rakyat termasuk kenaikan upah golongan pekerja. Keterlanjuran lalu dalam pemusatan isu subsidi juga mengakibatkan hutang dan liabiliti negara menjangkau RM1.5 trilion atau 82 peratus kepada KDNK. Bayaran khidmat hutang sahaja dijangka mencatat RM46.1 bilion iaitu 15.2 peratus daripada hasil 2024.
Hanya dengan mengurangkan defisit dan tanggungan, kerajaan dapat mengembalikan kedudukan fiskal negara yang mampan. Tekad perubahan harus bermula dengan iltizam setiap warga terpancar dari keyakinan dan hati nurani. Inilah yang pernah diungkapkan oleh pemikir Algeria, Almarhum Malik Bennabi sebagai “the inner struggle of conscience” disusuli dengan “collective consciousness for renewal”. Kesedaran bersama pimpinan dan rakyat keseluruhannya ke arah islah dan pembaharuan. Maka, Belanjawan 2024 yang saya ungkap sebagai Belanjawan MADANI Kedua menghamparkan tekad dan kesungguhan Kerajaan Perpaduan dalam memaknai sebuah cetusan nurani bagi mengangkat darjat, harakat ekonomi negara dan rakyat.
Alhamdulillah, menjengah usia hampir setahun, pimpinan Kerajaan Perpaduan sedaya upaya menjelmakan semula kekuatan watan. Ekonomi domestik Malaysia terus kukuh, kadar pengangguran berjaya turun kepada kadar 3.4 peratus setakat Ogos 2023 [Tepuk] iaitu terendah hampir menyamai kadar sebelum COVID-19, 3.3 peratus.
[Tepuk] Kendatipun begitu, kebergantungan makanan import masih terlalu tinggi. Tekad dan kesungguhan semua pihak berjaya meredakan inflasi secara beransur-ansur setiap tahun.
Dato' Seri Anwar bin Ibrahim
Pada Ogos 2023, kadar inflasi hanya dua peratus iaitu antara terendah di rantau ini, malah lebih baik ketimbang negara ekonomi maju. Malaysia kekal sebagai destinasi pilihan pelabur asing. Bagi separuh pertama 2023, kita berjaya meraih pelaburan diluluskan bernilai 132.6 bilion ringgit iaitu melebihi 60 peratus daripada sasaran tahun ini.
Pencapaian ini merangkumi 63.3 bilion ringgit pelaburan langsung asing melibatkan keseluruhan 2,651 projek dan dijangka menghasilkan lebih 51 ribu peluang pekerjaan...
[Tepuk] Malaysia juga kekal sebagai destinasi tumpuan pelancong. Setakat Ogos 2023, menyaksikan ketibaan pelancong asing hampir 13 juta orang iaitu lebih tiga kali ganda ketimbang tahun lalu...
[Tepuk] Indikator inilah yang sebenarnya merupakan kekuatan hakiki negara. Insya-Allah dengan ini prestasi ekonomi akan terus pulih meski kita menghadapi tentangan ringgit. Sementelahan ini, membuktikan negara di landasan yang tepat, kita tidak harus mendabik dada dan terlalu cepat berpuas hati. Perlu diakui bahawa situasi ekonomi global yang mencengkam telah menempiasi prestasi ekonomi kita.
KDNK pada suku kedua 2023 mencatat pertumbuhan lebih sederhana sebanyak 2.9 peratus, ketimbang 5.6 peratus pada suku pertama 2023. Kita mencapai pertumbuhan separuh pertama 2023 sebanyak 4.2 peratus. Pencapaian ini cerminan permintaan eksport yang lebih perlahan, selain dampak asas yang tinggi pada suku kedua tahun lalu.
Seiring realiti perkembangan ini, pertumbuhan KDNK bagi tahun 2023 harus diunjur semula kepada sekitar empat peratus..*.
[Tepuk]* Kesempatan yang ada perlu dimanfaat untuk melakukan reformasi menyeluruh terhadap struktur ekonomi bagi mengembali tahap negara sebagai jaguh Asia...
[Tepuk] Walhasil, Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat diluncurkan sebagai kerangka besar bagi berdepan kerencaman tantangan semasa dan jangka panjang dengan menaikkan siling dan lantai. Tumpuan utama adalah merombak struktur ekonomi dan mengangkat darjat hidup rakyat.
Langkah-langkah segar di bawah Ekonomi MADANI adalah mencapai tujuan tujuh penanda aras sebagai sasaran jangka sederhana. Ekonomi MADANI juga menjadi induk kepada dasar yang telah diluncurkan iaitu Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 dan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kedua Belas.
Hari ini, dibentangkan Belanjawan MADANI Kedua sebagai kesinambungan dasar yang menelusuri Kerangka Ekonomi MADANI. Semua usaha yang dirangka akan menyusul setiap keutamaan dan penanda aras Ekonomi MADANI yang dicerakinkan kepada tiga tumpuan utama iaitu:
Dato' Seri Anwar bin Ibrahim
(i) tata kelola terbaik demi ketangkasan perkhidmatan;
(ii) penstrukturan semula ekonomi bagi melonjak pertumbuhan; dan
(iii) peningkatan darjat hidup rakyat.
Komitmen reformasi fiskal diteruskan. Kita sudah memeta matlamat yang jelas iaitu meningkatkan darjat hidup rakyat dan kembali menjadi jaguh ekonomi serantau.
Untuk itu, sumber kewangan negara harus diurus dengan cekap di samping memastikan khazanah watan menghasilkan kemaslahatan buat seluruh rakyat.
Arakian, sebuah islah perlu dilaksanakan sungguhpun sukar. Ini termasuk meluaskan asas hasil, melaksanakan subsidi bersasar, penyasaran subsidi dan membasmi segala bentuk rasuah dan penyelewengan yang sistemik. Kita juga memerlukan sebuah perkhidmatan awam yang efisien, cerdas dan tangkas dalam menjayakan agenda pembangunan semula negara.
Peningkatan subsidi tahun 2023 ditampung melalui penjimatan perbelanjaan dan penambahan hasil. Bagi tahun 2023, anggaran hasil yang disemak semula ialah 303.2 bilion ringgit [Tepuk] ketimbang 291.5 bilion ringgit sebelumnya. Jumlah defisit diunjur lima peratus kepada KDNK, sebagaimana yang telah ditetapkan. Bagi tahun depan, kerajaan menjangkakan pertumbuhan KDNK antara empat hingga lima peratus.
Sekalipun diakui Bank Dunia dan IMF mengunjurkan pertumbuhan Malaysia pada kadar 4.3 peratus, dengan pembaharuan Ekonomi MADANI yang bakal dilaksanakan, kerajaan yakin untuk mencapai pertumbuhan menghampiri lima peratus. Kutipan hasil kerajaan 2024 dijangka menyaksikan peningkatan daripada 303.2 bilion ringgit tahun ini kepada 307.6 bilion ringgit. Defisit fiskal 2024 diunjur berkurang kepada 4.3 peratus, ketimbang sasaran lima peratus tahun ini dan 5.6 peratus 2022.
Kita akan mencapai defisit fiskal tiga peratus atau lebih rendah kepada KDNK sebagaimana penanda aras yang ditetapkan dalam Kerangka Ekonomi Madani.
Alhamdulillah, kelmarin Dewan yang mulia ini telah meluluskan Rang Undang-undang Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal atau Fiscal Responsibility Act (FRA). Ini memperkukuh komitmen kerajaan dalam memperteguh tata kelola serta menjamin ketelusan dan pertanggungjawaban. Apa yang dimaksudkan dengan FRA adalah penyerahan kuasa Menteri Kewangan kembali kepada Parlimen untuk memantau.
Kedua, anggaran Belanjawan 2024, memperuntukkan RM393.8 bilion iaitu belanjawan tertinggi yang pernah dibentangkan. Daripada jumlah tersebut, RM303.8 bilion untuk belanja mengurus, RM90 bilion untuk pembangunan dan RM2 bilion simpanan luar jangka...
[Tepuk] Ini melibatkan penambahan siling RMKe-12 sebanyak RM15 bilion lagi, menjadikan jumlah keseluruhan 415 bilion ringgit untuk tempoh lima tahun. Maknanya kerajaan mengamalkan pendekatan fiskal yang mengembang (expansionary fiscal stance) walaupun pada masa yang sama bertanggungjawab mengurangkan defisit fiskal secara berperingkat.
Tan Sri Yang di-Pertua, hasil harus diperluaskan. Malaysia merupakan negara ketiga tertinggi di dunia untuk subsidi petrol. Harga petrol RON95 kita adalah di antara termurah di dunia dengan kadar RM2.05 seliter, lebih murah daripada Arab Saudi, pengeluar minyak utama dunia (RM2.94). Jika dibandingkan dengan harga negara serantau Indonesia pada kadar RM4.45 dan Thailand RM5.99.
Cukai yang kita pungut pula antara yang terendah di ASEAN, yakni 11.8 peratus kepada KDNK, ketimbang 12.6 peratus, Singapura dan 16.4 peratus, Thailand. Maka sebagai langkah peningkatan mutu perkhidmatan dan bantuan kepada rakyat, Kerajaan Perpaduan bertanggungjawab meluaskan asas hasil. Mulai tahun hadapan, beberapa langkah reformasi percukaian akan dilaksanakan bagi meluaskan asas hasil negara dengan maksud mengelakkan daripada bebanan ditanggung oleh rakyat. Pertimbangan ini sangat sukar tetapi terpaksa dilakukan untuk meningkatkan hasil, mengurangkan subsidi tetapi tidak membebankan rakyat.
Kerajaan bercadang untuk menaikkan kadar Cukai Perkhidmatan kepada lapan peratus ketimbang enam peratus sekarang. Namun agar tidak membebankan rakyat, peningkatan ini tidak termasuk perkhidmatan seperti makanan dan minuman serta telekomunikasi. Kerajaan juga akan meluaskan skop perkhidmatan bercukai, meliputi
Dato' Seri Anwar bin Ibrahim
perkhidmatan logistik, kekal enam peratus dan selainnya pembrokeran, penajajaminan dan kelab-kelab karaoke.
Setelah mengambil kira input pihak berkepentingan melalui sesi libat urus yang diadakan, kerajaan akan menguatkuasakan pelaksanaan Cukai Keuntungan Modal bagi pelupusan saham tidak tersenarai oleh syarikat tempatan berdasarkan keuntungan bersih pada kadar 10 peratus mulai 1 Mac 2024. Pengecualian Cukai Keuntungan Modal ke atas pelupusan saham berkaitan aktiviti tertentu seperti initial public offering (IPO) yang diluluskan, penstrukturan dalaman dan syarikat modal teroka tertakluk kepada syarikat, syarat ditetapkan...
[Tepuk]
Dato' Seri Anwar bin Ibrahim
Kerajaan akan menggubal perundangan baharu bagi melaksanakan Cukai Barang Bernilai Tinggi, kadar lima hingga 10 peratus. Barang kemas, jam tangan berdasarkan nilai ambang harga barangan. Tapi untuk maksud menggalakkan pelancongan, ia tidak dikenakan kepada pelancong dan beberapa peraturan diperkenalkan supaya pelancong boleh mengutip pulangan cukai itu selepas, sebelum berlepas ke luar negara.
Tuan Yang di-Pertua, Malaysia perlu seiring dengan piawaian percukaian antarabangsa iaitu mengekang aktiviti penghakisan asas cukai dan pemindahan untung ke negara yang mempunyai kadar cukai yang rendah. Mengambil kira maklum balas daripada industri dan perkembangan terkini antarabangsa, kerajaan akan melaksanakan cukai minimum global pada tahun 2025 dengan hanya terpakai kepada syarikat yang mempunyai pendapatan global sekurang-kurangnya EUR750 juta. Kerajaan juga akan memantau perkembangan cukai minimum global di peringkat antarabangsa.
E-invois harus dilaksanakan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). Kerajaan mengambil kira maklum balas yang diterima dan memberikan cukup masa kepada pembayar cukai. Maka, kerajaan bersetuju menguatkuasakan e-invois secara mandatori kepada pembayar cukai dengan pendapatan atau jualan tahunan melebihi RM100 juta, mulai 1 Ogos 2024. Pembayar cukai mengikut kategori pendapatan selainnya, akan dibuat secara berfasa dengan sasaran pelaksanaan menyeluruh, mulai 1 Julai 2025.
Nombor Pengenalan Cukai (TIN) akan diperluas penggunaannya untuk menyokong pelaksanaan e-invois ini. Pematuhan cukai secara sukarela yang seterusnya bagi mengurangkan ketirisan hasil akan diberikan perhatian. Agensi penguatkuasaan akan terus memperhebat usaha menangani ketirisan. Umpamanya, kawalan penyeludupan rokok yang menyumbang kepada penurunan peratus rokok tidak sah di pasaran tempatan, kepada 56.6 peratus pada tahun 2022, ketimbang 63.8 peratus 2020.
Bilangan rokok yang tidak sah masih tinggi di pasaran. Maka, kerjasama antara agensi akan dipertingkatkan, termasuk memperketatkan kawalan penyeludupan minuman keras.
Mulai 1 Januari 2024, diperketatkan langkah kawalan penyeludupan dan memperluas kepada produk minuman keras. Aktiviti pindah kapal (transshipment) bagi produk minuman keras akan dihadkan di pelabuhan tertentu sahaja. Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan Bukit Kayu Hitam akan dijadikan sebagai laluan keluar tunggal bagi wilayah utara. Aktiviti import bagi rokok untuk pasaran domestik hendaklah dilakukan secara muatan kontena secara penuh (full container load). Kerajaan menghargai komitmen agensi penguat kuasa seperti PDRM, SPRM dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia dalam meningkatkan usaha penguatkuasaan serta operasi membanteras ketirisan hasil negara. Ketangkasan tindakan PDRM membanteras jenayah dan ikhtiar SPRM menggeledah pengamal sindiket kewangan dan kartel perlu dihargai.
[Tepuk] Sebagai langkah dorongan, saya bersetuju bahawa agensi penguatkuasaan yang menunjukkan komitmen berterusan dan prestasi cemerlang akan diberikan ganjaran sewajarnya.
[Tepuk] Tan Sri Yang di-Pertua, penyasaran subsidi. Belanjawan 2023 memperuntukkan RM64 bilion untuk subsidi tetapi keperluan tahun ini, angka sebenar mencecah RM81 bilion, di antara subsidi tertinggi oleh mana-mana kerajaan di dunia. Oleh yang demikian, ada keperluan untuk dilihat semula ketangkasan dan pelaksanaan. Harga barangan bersubsidi untuk rakyat harus dilaksana, ditangani secara berhemah untuk mengelakkan daripada peningkatan kos sara hidup dan menekan.
Dato' Seri Anwar bin Ibrahim
Tetapi sepertimana yang saya tegaskan sebelum ini Tan Sri Yang di-Pertua, subsidi itu dihirup oleh golongan kaya dan 3.5 juta orang asing sekarang ini mendapat semua faedah subsidi yang disediakan. Maka, kita mohon Ahli-ahli Yang Berhormat dan rakyat memahami keperluan menyekat subsidi untuk orang miskin, dihirup oleh golongan maha kaya dan dihirup oleh 3.5 juta rakyat asing yang dibiarkan selama ini. Maka, mulai tahun hadapan, pendekatan penyasaran semula subsidi akan dilaksanakan secara berfasa.
[Tepuk] Jika benar kita dapat jimatkan belanja subsidi, maka saya jamin insya-Allah kita akan tambah peruntukan bantuan tunai kepada rakyat.
[Tepuk] Sumbangan Tunai Rahmah daripada RM8 bilion sekarang kepada RM10 bilion kepada hampir sembilan juta penduduk*.
[Tepuk]* Sejak Februari 2022, soal subsidi telur dan ayam, yang dulu diperkenalkan hanya semasa musim perayaan tetapi sekarang berterusan. Berapa jumlah tanggungan kerajaan sejak itu? RM3.8 bilion untuk subsidi telur dan ayam, ini termasuk kepada golongan kaya dan 3.5 juta orang asing. Jadi sekarang kebetulan, harga ayam dan telur mulai stabil dan oleh yang demikian, kerajaan akan menimbangkan supaya diapungkan berdasarkan harga yang lebih rendah daripada harga apungan kerajaan. Ini akan diumumkan dalam sedikit masa oleh Kementerian Pertanian, telah berunding dengan pengeluar dan memastikan tidak ada kenaikan yang tidak munasabah oleh syarikat dan peniaga.
Tan Sri Yang di-Pertua, langkah-langkah konkrit yang secara terperinci akan diumumkan oleh Menteri dalam tempoh dua minggu. Kita sebut sebelum ini tentang subsidi elektrik secara pukal membebankan dan sekali lagi menguntungkan orang kaya.
Saya ingatkan bahawa tidak adil untuk dikatakan tarif elektrik dinaikkan kerana pada 90 peratus rakyat tidak dinaikkan. Umpamanya pada tahun 2022, 10 peratus pelanggan teratas yang gunakan kemudahan elektrik, sebenarnya menikmati 50 peratus subsidi. Ini tidak munasabah. Subsidi itu untuk orang susah, kelas menengah dan rendah tetapi 10 peratus teratas dapat 50 peratus dana subsidi dan ini tekad kerajaan menghentikan subsidi bagi golongan maha kaya.
[Tepuk] Dan menurut kajian Kementerian Sumber Asli, ini akan mungkin menjimatkan sehingga RM4.6 bilion. Tidak menaikkan kadar elektrik bagi 90 peratus rakyat tetapi hanya mengenakan, mempastikan kenaikan bagi 10 peratus penggunaan elektrik tertinggi dan tidak— saya tegaskan, tidak kepada 90 peratus pengguna, kerana keseluruhan bantuan subsidi elektrik iaitu mencecah hampir RM20 bilion. Maknanya subsidi akan terus diteruskan tetapi dikurangkan kepada golongan teratas.
Pendekatan subsidi elektrik bersasar mengikut tahap penggunaan elektrik akan diperkenalkan dan ini memberi isyarat yang jelas kepada pengguna untuk mempraktikkan kecekapan tenaga dan amalan berjimat dalam penggunaan elektrik harian, termasuk di pejabat-pejabat kerajaan seluruh negara.
Dato' Seri Anwar bin Ibrahim
Rebat bil elektrik sehingga RM40 sebulan kepada isi rumah miskin tegar dengan peruntukan RM55 juta akan diperkenalkan, untuk mengurangkan lagi beban walaupun kadar dan tarif elektrik tidak dinaikkan. Kerajaan juga bersetuju mengecualikan bayaran deposit akaun bil elektrik atas nama sendiri.
Bahan api diesel juga berdepan isu ketirisan yang serius. Harga diesel bersubsidi semasa ditetapkan pada RM2.15 berbanding harga pasaran RM3.75 seliter. Ini bermakna, kerajaan menanggung RM1.60 bagi setiap liter diesel atau sekitar RM1.5 bilion keseluruhannya. Menurut data penggunaan, jualan diesel bersubsidi meningkat 40 peratus sejak 2019, tetapi kenderaan diesel hanya meningkat kurang tiga peratus.
Maknanya, ketirisan penyeludupan kerana harga diesel yang murah.
Bagi mengelakkan ketirisan dan penyeludupan, kerajaan berhasrat untuk merasionalisasikan subsidi, penyasaran subsidi diesel secara berfasa. Harga diesel bersubsidi akan terus dinikmati oleh pengguna terpilih seperti syarikat pengangkutan barangan. Pengguna lain akan dikenakan harga yang lebih tinggi. Dengan pendekatan tersebut, ia akan mengurangkan ketirisan subsidi, pada masa yang sama mengurangkan impak harga barangan untuk rakyat.
Dato' Seri Anwar bin Ibrahim
Tetapi bagi menjayakan penyasaran semula subsidi ini, penguatkuasaan harus lebih berkesan ya. Maknanya, terhadap pembeli dan penjual. Kejujuran mereka akan menentukan sama ada keputusan ini berhasil atau tidak. Hak peniaga mengaut keuntungan yang munasabah tidak dipertikai, tetapi gejala kartel dan pakat harga yang menyebabkan kenaikan harga berlebihan dan tidak terkawal bertentangan dengan prinsip manusiawi, prinsip madani.
Oleh itu, penyasaran semula subsidi jangan dijadikan alasan menaikkan harga dengan semberono kerana kerajaan akan bertindak menghapuskan amalan parasit melalui langkah kawalan ketat dan penguatkuasaan yang lebih berkesan. Ini tugas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup di samping peranan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) yang kita tambah peruntukan RM10 juta hanya untuk, khusus untuk tanggungjawab tersebut.
Filasuf Cina Mengzi telah merumuskan empat perkara asasi sebagai tonggak kekuatan. Ren— betul?
*[Disampuk] Yi, zhi, li. Ren, yi, zhi, li.
[Tepuk]* Maknanya, dia menekankan aspek ren (insaniah), yi (ihsan), zhi (wisdom, hikmah) dan li (nilai kerohanian, ibadah atau adat).
[Tepuk] Inilah dikatakan kekuatan dalaman yang ditekankan awal tadi dari pandangan Malik bin Nabi. Reformasi bagi menamatkan penderitaan rakyat, membasmi amalan rasuah sistemik, mengurangkan karenah birokrasi dan menyegerakan projek rakyat, membangun tatanan politik yang stabil.
Kita telah perkenalkan Pasukan Petugas Khas Reformasi Agensi (STAR) yang dipengerusikan oleh Tan Sri Ketua Setiausaha Negara, bagi mempercepat pelaksanaan projek, khususnya melibatkan isu kesesakan di hospital dan pembaikan sekolah dan klinik daif. Tahun depan, insya-Allah, pasukan STAR diberi tanggungjawab untuk mempercepat pelaksanaan projek selenggara lif RM91 juta, kuarters kerajaan RM170 juta.
RM2.4 bilion diperuntukkan untuk membina, menyelenggara dan membaik pulih kuarters penjawat awam, guru, hospital, polis, tentera dan bomba yang keadaan sangat mengaibkan kerana terlalu daif.
[Tepuk] Untuk kita serahkan tugas besar kepada polis, tentera, pasukan bomba, penjara dan lain-lain, tapi hidup dalam keadaan yang terdesak dengan kemudahan asas tidak diperbaiki sekian lama.
Rang Undang-undang Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 telah diluluskan. Maknanya rang undang-undang ini seterusnya adalah memperkenalkan Rang Undang-undang Perolehan Kerajaan di Parlimen pada tahun depan, selari dengan memperbaiki urusan reformasi tata kelola. RM18 juta bagi melaksanakan dan melancarkan urusan reformasi perundangan. Ini termasuk rang undang-undang pelaksanaan hukuman gantian terhadap hukuman mati mandatori.
Tuan Yang di-Pertua, badan kehakiman harus menjadi institusi bebas yang melindungi keluhuran Perlembagaan Persekutuan dan kedaulatan undang-undang. RM38 juta disediakan bagi meningkatkan produktiviti institusi kehakiman negara. Peruntukan ini mencakupi keutamaan membaik pulih prasarana serta menaik taraf kemudahan ICT mahkamah yang sudah usang dan rosak. Ini termasuk RM27 juta bagi memperkasa Akademi Kehakiman Malaysia yang sangat ditekankan oleh Ketua Hakim Negara dan Akademi Kehakiman Syariah Malaysia dalam melatih hakim-hakim mahkamah atasan secara lebih terancang dan berkesan.
[Duduk dan meneguk air] Berdasarkan beberapa kajian yang dilaksanakan bagi menambah baik kemapanan hasil, perlindungan sosial, tata kelola syarikat GLC dan pengurusan hutang negara, syor-syor yang diterima akan dilaksanakan seperti berikut:
(i) menambah baik pengenaan duti setem serta menyelaras pentadbiran insentif cukai;
(ii) memperkukuh pentadbiran cukai, termasuk mempermudah pulangan balik cukai serta memusatkan usaha kutipan cukai;
(iii) memperluas liputan sistem perlindungan sosial dan menstruktur semula institusi kewangan pembangunan (DFI) melalui penggabungan Bank Pembangunan Malaysia Berhad, SME Bank dan Exim Bank; dan
Dato' Seri Anwar bin Ibrahim
(iv) memperkukuh persekitaran modal teroka melalui pemusatan agensi modal teroka seperti Penjana Kapital dan MAVCAP di bawah Khazanah Nasional Berhad.
Selaras dengan Kerangka Ekonomi MADANI, kerajaan akan menumpukan kepada kerjasama awam-swasta-dermawan (PPPP) dalam melaksanakan projek untuk rakyat. Kerajaan memperuntukkan RM100 juta untuk terus menyokong usaha yang diambil oleh NGO dan pertubuhan masyarakat sivil, termasuk Yayasan Hasanah.
Organisasi dan tabung yang diluluskan di bawah subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan terus mampan dan dapat menyokong inisiatif kebajikan yang dihasratkan oleh kerajaan. Dicadangkan syarat penggunaan tidak melebihi 25 peratus daripada dana bagi tujuan penglibatan dalam perniagaan dinaikkan kepada 35 peratus. Dengan kelonggaran ini, kerjasama antara kerajaan dan NGO dapat diperkukuh untuk menambah baik kualiti hidup rakyat.
Kerajaan akan terus membela nasib rakyat dan menumpukan keutamaan kepada perkhidmatan projek yang memberi kesejahteraan kepada rakyat. Antaranya, masalah menangani masalah asas rakyat. Pembaikan tandas. Tidak boleh diterima kalau anak- anak kita terpaksa mengharungi alam persekolahan dengan kemudahan asas. Jadi, saya ucap tahniah kepada Kementerian Pendidikan kerana berjaya- [Tepuk] 8,354 tandas di seluruh negara.
[Tepuk] Dan sejurus daripada itu, untuk tahun ini, KPKT harus memantau keadaan tandas awam. Maka, RM150 juta disediakan bagi menyelenggara tandas awam.
[Tepuk]
Dato' Seri Anwar bin Ibrahim
Jalan tambah baik, kemalangan bertambah juga. Oleh itu, kita mencatatkan purata lebih 6,000 kematian akibat kemalangan jalan raya. Terbaru, insiden tragis yang meragut nyawa enam keluarga di Jalan Kuantan – Segamat, Bandar Muadzam amat mengesankan dan seluruh watan turut berdukacita. Maka, setakat Ogos, lebih 4,100 jalan berlubang di jalan persekutuan telah dikenal pasti dan dibaik pulih. Jadi, target kita untuk tahun ini ialah berusaha menyelesaikan semua aduan jalan berlubang jalan persekutuan di seluruh negara.
[Tepuk] Kerajaan negeri juga harus memanfaatkan sepenuhnya peruntukan MARRIS sebanyak RM5.4 bilion yang disalur oleh Kerajaan Persekutuan bagi memastikan jalan negeri juga dalam keadaan terbaik untuk kegunaan rakyat. Tahun depan, RM2.8 bilion disediakan untuk menyelenggara jalan dan jambatan persekutuan dengan RM300 juta dikhususkan kepada kontraktor G1 hingga G4.
Khidmat Jurutera Daerah akan terus diperkasa bagi menangani aduan kecil dan luar jangka melibatkan jalan persekutuan. Kerajaan akan meningkatkan peruntukan kepada RM200,000 ketimbang RM100,000 sekarang kepada 115 Jurutera Daerah, dengan peruntukan keseluruhan RM30 juta.
RM100 juta disediakan bagi menyelenggara lampu jalan, termasuk menggantikan kepada jenis LED yang dapat menjimatkan elektrik sehingga 60 peratus. RM50 juta untuk tujuan sama di kawasan PBT seluruh negara. RM50 juta untuk merawat kawasan berkemalangan tinggi. Antaranya menaik taraf lampu isyarat sedia ada kepada lampu isyarat pintar di jalan persekutuan bagi membantu mengurai kesesakan laluan trafik.
Alhamdulillah, susulan kenaikan had kelayakan mendapatkan bantuan guaman penuh pada RM50,000, bilangan kes sivil dan syariah yang mendapat bantuan guaman telah meningkatkan kepada 8,500 kes. Tahun depan, fungsi Jabatan Bantuan Guaman akan diperkasa dengan membela nasib rakyat susah untuk mendapat keadilan yang saksama.
Belanjawan MADANI menyediakan RM10 juta tambahan di bawah Kumpulan Wang Amanah Rakyat Malaysia Luar Negeri bagi membela nasib rakyat kita yang menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan serta kes-kes kebajikan lain di luar negara.
[Tepuk] Setakat Julai 2023, 14,000 kes muflis dengan hutang kecil di bawah RM50,000 telah dilepaskan daripada kebankrapan.
[Tepuk] Hasil pelaksanaan peluang kedua, Akta Insolvensi 2023 telah melepaskan secara automatik daripada pengisytiharan muflis bagi kes-kes semasa dan terkebelakang yang memenuhi syarat. Jadi tahun depan
Dato' Seri Anwar bin Ibrahim
diperluaskan kepada golongan muda, berusia 40 tahun ke bawah yang mempunyai hutang tidak melebihi RM200,000.
Rakyat di pedalaman punya hak yang sama kepada perkhidmatan kerajaan.
Tahun depan, kita akan pergiat pelaksanaan inisiatif penyediaan perkhidmatan terus kepada rakyat dengan peruntukan RM26 juta termasuk:
(i) Program Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR) di bawah Jabatan Pendaftaran Negara;
(ii) klinik bergerak oleh hospital pengajar universiti termasuk saringan awal kanser payudara;
(iii) klinik pergigian bergerak termasuk perkhidmatan sehingga ke Penampang dan Keningau;
(iv) bank bergerak dengan perkhidmatan perbankan di kawasan pedalaman; dan
(v) mahkamah bergerak yang melibatkan kes-kes sivil.
Isu scam banyak dibangkitkan oleh Yang Berhormat. Pusat Respons Scam Kebangsaan telah mengendali lebih 49,000 panggilan dan berjaya membeku sehingga RM60 juta transaksi. Kerajaan akan menambah peruntukan NSRC kepada RM20 juta ketimbang RM10 juta sekarang untuk membanteras jenayah scam.
Bank Negara Malaysia dengan kerjasama sektor kewangan sedang membangunkan Portal Fraud Kebangsaan (NFP). Dengan kebolehan automasi penjejakan dana, diharap portal ini mempercepat tempoh pengesanan, pembekuan dan pemulangan dana. Dan juga meneliti keperluan meminda undang-undang, termasuk Kanun Tatacara Jenayah bagi membolehkan tindakan yang lebih berkesan diambil terhadap sindiket dan pemegang akaun keldai, seterusnya mempercepatkan proses pemulangan wang kepada mangsa scam.
Sabah dan Sarawak memang diberikan perhatian kerana kita ketinggalan dalam melaksanakan Perjanjian Malaysia 1963. Maka, tahun depan, peruntukan Persekutuan untuk pembangunan Sarawak meningkat kepada RM5.8 bilion.
[Tepuk] Manakala untuk Sabah, meningkat kepada RM6.6 bilion.
[Tepuk] Kerajaan juga telah menurunkan kuasa pelaksanaan projek pembangunan di bawah RM50 juta kepada agensi teknikal.
Kita telah meningkatkan Pemberian Khas Interim untuk Sarawak dan Sabah RM300 juta ketimbang RM16 juta bagi Sarawak yang diputuskan, yang tidak dikaji semula sejak 1969. Ini saya tegaskan Tan Sri Yang di-Pertua, untuk menjelaskan supaya tidak ada kekeliruan. Sejak 1969, tidak dikaji semula dan sebab itulah ditingkatkan jadi RM300 juta walaupun di Sabah ada kajian selepas itu.
Rang Undang-undang Lembaga Hasil Dalam Negeri (Pindaan) diluluskan oleh Yang Berhormat di Dewan Rakyat kelmarin, bagi memperuntukkan wakil Kerajaan Negeri Sabah dan wakil Kerajaan Negeri Sarawak. Selaras dengan hasil Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) 1963, alhamdulillah, kita laksanakan pada tahun 2023.
Kerajaan Persekutuan bersama Sabah, Kerajaan Sabah telah mencapai kesepakatan berhubung penyerahan kuasa kawal selia bekalan elektrik yang bakal berkuat kuasa pada 3 Januari 2024. Kerajaan Persekutuan tetap akan membantu Kerajaan Sabah dalam mengukuhkan industri bekalan elektrik melalui pemberian subsidi kepada Sabah Electricity Sdn. Bhd. sehinggalah Pelan Transformasi SESB berjaya dilaksanakan.
Bagi menjamin kestabilan mengurangkan gangguan bekalan elektrik di Sabah khususnya kawasan timur, kerajaan akan memberikan sokongan kepada pelaksanaan penjanaan tenaga secara solar hibrid serta pembinaan jaringan talian penghantar elektrik di selatan Sabah.
Kerajaan Persekutuan juga berunding, merealisasikan penyerahan Pelabuhan Bintulu dan pengoperasian perkhidmatan udara desa kepada Kerajaan Negeri Sarawak.
Dan kita dapat maklum kesediaan Kerajaan Negeri Sabah untuk bersama dalam syarikat penerbangan tersebut.
Dato' Seri Anwar bin Ibrahim
Sasaran kita adalah untuk menduduki tangga ke-20 teratas dunia bagi Subindeks Kecekapan Kerajaan dalam Laporan Daya Saing Global. Bagi mempertingkatkan kecekapan, pembangunan Identiti Digital Nasional (IDN) akan disegerakan sebagai platform pengesahan diri yang dipercayai. Projek ini lama tertangguh dan kita telah mengarahkan supaya dapat dilaksanakan dalam tempoh yang segera mungkin. Unit Nukleus GovTech telah diwujudkan untuk membina kepakaran dalaman supaya pembangunan Identiti Digital Nasional dan aplikasi-aplikasi lain yang mesra pengguna dengan kos yang optimum.
Kerangka Ekonomi Madani adalah untuk memeta nama Malaysia sebagai jaguh ekonomi serantau. Bagi menggapai hasrat tersebut, struktur ekonomi perlu dirombak dan disusun semula supaya dapat mengembangkan potensi yang ada. NIMP menyasarkan jumlah pelaburan keseluruhan sehingga RM95 bilion di samping melibatkan 3.3 juta peluang pekerjaan dengan gaji menengah sehingga RM4,510 sebulan menjelang 2030.
Dato' Seri Anwar bin Ibrahim
10 peratus daripada jumlah pelaburan NIMP dianggap untuk pemangkin memacu misi NIMP dengan dana permulaan sebanyak RM200 juta. Antara isu struktur yang membelenggu sistem ekonomi, termasuklah sektor perindustrian menguncup sebelum masanya. Sumbangan industri pembuatan kekal di bawah paras 25 peratus kepada KDNK. Bagi mengekang masalah ini, pelaburan masa depan ditumpukan kepada bidang yang berpertumbuhan dan bernilai tinggi atau high growth high value (HGHV).
Pendekatan insentif berasaskan keberhasilan ini merupakan dimensi baharu yang menggunakan sistem tier, tiering dalam pemberian insentif. Dia dapat merancakkan syarikat untuk menjana ekonomi melalui pelaburan bernilai tinggi dan mewujudkan kluster ekonomi baharu, rangkaian domestik, kelestarian ekonomi dan alam sekitar.
Dengan ini syarikat menikmati insentif yang setara dengan komitmen yang dilaksanakan. Kerajaan bercadang memberi galakan cukai pelaburan semula secara tiering dalam bentuk elaun cukai pelaburan sebanyak 70 peratus atau 100 peratus. Bagi menyokong ekosistem aktiviti bernilai tinggi, kerajaan mencadangkan Pengerang Integrated Petroleum Complex (PIPC) dijadikan hab pembangunan sektor kimia dan petrokimia dengan pemberian pakej galakan cukai dalam bentuk kadar cukai khas atau elaun cukai pelaburan.
Kerajaan juga akan turut memperhebat usaha untuk meraih lebih banyak pelaburan berimpak tinggi supaya Malaysia menjadi destinasi pelaburan asing. Beberapa kebijakan baharu untuk memudah urusan perniagaan diperkenalkan. Kawasan perindustrian di Bayan Lepas, Pulau Pinang; Kulim Hi-Tech Park, Kedah telah menghimpun syarikat-syarikat terkemuka dalam sektor E&E bagi membina ekosistem lebih luas untuk kluster E&E di wilayah utara. Kerajaan akan membuka kawasan baharu perindustrian dan berteknologi tinggi di Kerian, Perak Utara.
Tanggungjawab MITI dan MIDA tidak lagi hanya tertumpu kepada kelulusan insentif tetapi mempermudah urusan FDI dan DDI bermula dari permohonan sehinggalah pelaburan direalisasikan. Jawatankuasa Tindakan Penyelarasan Pelaburan dan Perdagangan ditubuhkan, bertanggungjawab melapor secara terus kepada Majlis Pelaburan Negara yang saya pengerusikan.
Kemunculan lebih banyak syarikat pemula tempatan amat mustahak. Kerajaan menyasarkan kedudukan ke-20 teratas bagi ekosistem syarikat pemula global menjelang 2030, selain menjadikan Kuala Lumpur sebagai hab industri digital dan syarikat pemula bagi rantau Asia Tenggara.
Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Industri Keempat Negara berikan keputusan dan membuat keputusan untuk melonjakkan kegiatan dan RM28 juta disediakan untuk membangun platform MYStartup, menghimpunkan syarikat pemula, di samping mempermudah aktiviti perniagaan sepanjang kitaran hayat mereka. Ini akan mengoptimumkan dana sebanyak RM200 juta, pembiayaan dan modal teroka di bawah satu platform.
Saya ingat pemula tempatan harus diantarabangsakan, bagi menembusi pasaran antara serantau. Maka GLC dan syarikat pelaburan kerajaan (GLIC) telah menyediakan dana RM1.5 bilion untuk menggalakkan syarikat pemula, termasuk usahawan PKS
Dato' Seri Anwar bin Ibrahim
bumiputera menceburi bidang HGHV seperti ekonomi digital, teknologi angkasa serta E&E
(electronic and electrical).
Bagi menyokong pendanaan modal kepada syarikat pemula, RM100 juta disediakan pada MyCIF bagi tempoh tiga tahun. Ini inisiatif keterjaminan makanan, alam sekitar, masyarakat dan juga Majlis Agama Islam untuk membuka peluang pembangunan aset wakaf untuk tujuan kesihatan, pendidikan dan perusahaan asas tani. Galakan cukai bagi pelabur individu yang melabur dalam syarikat pemula melalui platform pendanaan awam ekuiti (ECF) akan turut diperluas melalui syarikat nomini perkongsian liabiliti terhad dilanjutkan sehingga 31 Disember 2026. Galakan cukai pelabur mangkin (angel investor) dilanjutkan sehingga 31 Disember 2026. Ini bagi menggalakkan pendanaan modal syarikat pemula teknologi.
Saya pernah menyinggung pendekatan sektor kewangan Islam di Malaysia yang masih belum memenuhi maksud maqasid syariah yang berteraskan keadilan dan maslahat buat semua kerana menggunakan instrumen kewangan hanya sebagai alternatif kepada bank konvensional atau instrumen yang wujud di luar, diperkenalkan yang dikatakan Islamic windows. Peringatan Almarhum Nejatullah Siddiqi seyogia dihayati, “More than anything else, Islamic banking and finance, a subculture of Islamic economics, has been a quest for justice and morality into the ordinary business of life.” Alhamdulillah, bidang kewangan Islam telah menghadiahkan kita suatu kaedah perbankan moden tanpa riba sejak empat dasawarsa yang lalu. Namun, perkembangan ini tidak harus terhenti dan terbatas setakat itu. Hala tuju ekonomi Islam harus ditetapkan agar mampu menjayakan hasrat objektif Islam yang lebih luas, menangani jurang antara amalan ekonomi, selaras dengan ajaran Al-Quran Nur Karim dan Sunah Rasulullah SAW.
Persidangan Antarabangsa mengenai Ekonomi dan Kewangan Islam
(ICIEF2023) akan dianjurkan pada bulan Disember bagi mencerakinkan permasalahan ini dalam usaha mempelopori peralihan kepada sistem kewangan Islam yang lebih syumul atau menyeluruh. Persidangan ini akan mengumpulkan lebih 400 pemikir dan teknokrat bidang kewangan Islam dan melibatkan hampir 100 kertas pembentangan, bagi mengupas isu dan tindakan yang boleh diambil dalam memartabatkan kewangan Islam.
Kita berhasrat dengan cara yang sedemikian, ia memberikan dampak dan dapat mengangkat kedudukan Malaysia sebagai pemangkin sektor kewangan Islam yang lebih functional dan lebih menyeluruh selari dengan maqasid syariah.
Tan Sri Yang di-Pertua, bulan Disember dalam kerangka kewangan Islam menjadi titik tolak yang penting kerana bukan sahaja memberikan ruang kepada pakar-pakar tetapi memberikan kesempatan untuk semua syarikat-syarikat kerajaan melonjakkan aktiviti mereka. Berikutnya adalah amalan perantaraan berasaskan nilai atau value-based intermediation (VBI) bank-bank Islam dan pengendali takaful mampu menerokai inovasi berimpak menerusi berimpak menerusi penawaran, khususnya mereka yang terpisah daripada akses kepada perkhidmatan kewangan.
Bank Negara Malaysia dan institusi kewangan Islam sedang memajukan program rintis pelaburan berimpak melalui akaun pelaburan atau investment account yang lebih meluas. Ini melibatkan elemen perkongsian risiko antara pihak pelabur dalam pelaburan berteraskan SDG dan juga pelaburan sosial dan ini melibatkan pembiayaan pendidikan golongan miskin.
Alhamdulillah, sekali lagi Malaysia kekal sebagai indikator, dalam keseluruhan Indikator Pembangunan Kewangan Islam global untuk 10 tahun berturut-turut. Pusat Kewangan Islam Antarabangsa Malaysia (MIFC) akan terus memperkukuh daya saing negara selari dengan pendekatan yang baru yang saya umumkan dan bagi menambah aktiviti perolehan dana dan pelaburan Islam serta hab takaful semula. Bagi mendalami nilai-nilai universal ekonomi Islam, kerajaan menyediakan RM20 juta bagi merancakkan kajian serta kreativiti dan inovasi ekonomi Islam. Dan ini termasuk Pusat Pendidikan Kewangan Islam Antarabangsa dengan penglibatan MIFC dan industri.
Kita bercadang mengecualikan cukai pendapatan ke atas pendapatan yang terbit daripada Islamic Securities Selling and Buying mulai tahun taksiran 2024. Ini tentunya akan menjadi galakan untuk keseluruhan dagangan sekuriti dan kecairan pasaran saham patuh syariah melalui penglibatan lebih ramai pelabur dan broker dalam transaksi ISSB, transaksi securities borrowing and lending.
Dato' Seri Anwar bin Ibrahim
Bagi menyokong pembangunan Pusat Perniagaan Kewangan Antarabangsa Labuan sebagai hab kewangan Islam dan patuh syariah, kerajaan turut bercadang untuk mengecualikan cukai pendapatan sepenuhnya selama lima tahun kepada entiti Labuan yang menjalankan aktiviti perdagangan berkaitan kewangan Islam, termasuk bursa digital Islam, token digital Islam melalui taksiran 2024.
Malaysia International Halal Showcase Ke-19 bulan lalu merekodkan jualan produk halal mencecah RM3 bilion iaitu 24 peratus lebih tinggi daripada sasaran. Tahniah kepada pihak penganjur. Pameran ini adalah pameran halal terbesar di dunia dan telah memadankan 469 syarikat tempatan dan 230 pembeli antarabangsa dari 44 buah negara.
Pelan Induk Industri Halal 2030 menetapkan penanda aras sumbangan industri halal sebanyak 11 peratus kepada KDNK menjelang 2030. Jadi, platform bersepadu halal menawarkan akses kepada dana khas dan program bina upaya.
Kerajaan akan memendekkan proses pensijilan halal, 51 hari sekarang kepada 30 hari.
[Tepuk] Halal Development Corporation (HDC) bersama JAKIM akan menerajui usaha memudah cara pemprosesan pensijilan halal untuk eksport produk halal.
Program Kewangan Sosial i-TEKAD diluncurkan sebelum ini telah memanfaatkan 4,000 usahawan dan menggalakkan sambutan oleh 12 institusi kewangan. Maka, dana tambahan RM25 juta sebagai geran padanan dengan institusi kewangan kerana kejayaan awal.
Kerajaan menyediakan RM200 juta April lalu untuk membangunkan semula tanah-tanah wakaf di Pulau Pinang secara pinjaman mudah. Tahun hadapan, insya-Allah kerajaan meningkatkan dana kepada RM500 juta untuk pinjaman mudah meningkatkan pembangunan semula tanah-tanah wakaf di seluruh negara.
Belanjawan MADANI Kedua akan terus menyokong usahawan mikro, kecil dan sederhana, selaras dengan hasrat Kerangka Ekonomi MADANI iaitu menyokong peningkatan kapasiti perniagaan serta daya saing, meningkatkan pendapatan rakyat dan negara.
Kemudahan pinjaman perniagaan keseluruhannya akan disediakan untuk manfaat PMKS, berjumlah sehingga RM44 bilion.
[Tepuk] Kemudahan pinjaman kecil juga disediakan dan ini melibatkan RM2.4 bilion di bawah Bank Negara Malaysia, BSN dan TEKUN. RM1.4 bilion di bawah pinjaman mikro BSN dengan menyediakan modal perniagaan, peralatan dan pemasaran kepada penjaja dan pengusaha kecil-kecilan.
RM330 juta di bawah TEKUN untuk pembiayaan peniaga kecil seperti pengusaha batik dan kraf, usahawan Orang Asli bumiputera Sabah dan Sarawak. RM30 juta disediakan khusus untuk membiayai perniagaan yang diusahakan oleh masyarakat India.
[Tepuk] Sebanyak RM720 juta dikhaskan untuk menggalakkan wanita dan belia menceburi bidang perniagaan. RM8 bilion disediakan melalui Bank Negara untuk menyokong syarikat PKS.
Daripada jumlah tersebut, RM600 juta khusus untuk perusahaan mikro dan usahawan berpendapatan rendah, kontraktor kecil, penerapan amalan kelestarian dan sektor berkaitan keterjaminan makanan. RM600 juta disediakan di bawah Dana Impak Khazanah Nasional, menggalakkan pertumbuhan ekonomi dan memberi lebih banyak peluang kepada komuniti desa, separa bandar, golongan kurang mendapat perkhidmatan kewangan.
Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Berhad (SJPP) telah menjamin lebih 100,000 PKS, merangkumi 75 peratus PKS bukan bumiputera dan 25 peratus PKS bumiputera dengan nilai keseluruhan diluluskan berjumlah RM75 bilion. Tahun depan, SJPP akan menjamin sehingga 80 peratus pinjaman usahawan yang terlibat dalam bidang ekonomi hijau, teknologi dan halal dengan ketersediaan dana jaminan sehingga RM20 bilion.
Sejak ditubuhkan, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) telah berjaya membantu satu juta peminjam, khususnya ibu tunggal dan golongan miskin melalui penyediaan modal perniagaan kecil-kecilan. AIM telah menunjukkan prestasi yang sangat cemerlang dengan mencatatkan kadar pinjaman tak berbayar (non-performing loan) terendah iaitu 0.26 peratus pada tahun 2022. Bagi menyokong fungsi AIM yang berupaya membasmi
Dato' Seri Anwar bin Ibrahim
kemiskinan, Kerajaan Perpaduan menyediakan peruntukan pembiayaan sebanyak RM100 juta.
Tahun hadapan, RM100 juta dana pembiayaan disediakan kepada gerakan koperasi melalui Tabung Modal Pusingan, Suruhanjaya Koperasi Malaysia.
[Tepuk] Pengusaha PMKS hendaklah segera beradaptasi dengan teknologi dan pendigitalan produk supaya dapat menembusi pasaran yang lebih luas. Kita harus meningkatkan tahap daya saing PMKS secara automasi, melalui automasi dan pendigitalan.
RM100 juta geran pendigitalan sehingga RM5,000 untuk manfaat lebih 20,000 usahawan PKS dan pengusaha mikro untuk menaikkan taraf sistem jualan, inventori dan perakaunan digital. RM900 juta pinjaman di bawah Bank Negara Malaysia (BNM), menggalakkan syarikat PKS meningkatkan produktiviti perniagaan melalui automasi dan pendigitalan. RM40 juta untuk Program Shop Malaysia Online iaitu untuk peniaga kecil, terutama bidang makanan yang berniaga dari rumah.
Pusat Ekonomi Digital di setiap DUN akan terus diperkasa untuk menyokong pengusaha kecil menjual produk secara dalam talian dengan peruntukan RM25 juta.
[Tepuk] Agar syarikat berdaya saing, kerajaan mengurangkan tempoh syarikat dibenarkan menuntut elaun modal ke atas perbelanjaan pembelian peralatan ICT serta pakej perisian komputer kepada tiga tahun, ketimbang empat tahun mulai tahun taksiran 2024.
Marcapada ini, kerumitan ekonomi menagih bakat-bakat baru yang berkemahiran tinggi dan sentiasa beradaptasi dengan dunia yang pantas berubah. Lantaran itu, pembangunan bakat tempatan perlu segera melalui pengislahan jitu supaya selari dengan kehendak majikan dan industri.
Tahun depan, keseluruhan pendidikan TVET melibatkan belanja RM6.8 bilion.
Kita memulakan secara rintis, usaha merombak pendidikan TVET negara, melalui kerjasama dengan syarikat GLC dan swasta. Sehingga 5 Oktober lalu, 17 GLC dan 44 syarikat swasta telah terlibat dalam pemeteraian 61 memorandum persefahaman, mencakup kerjasama melalui pembangunan kurikulum serta sumbangan peralatan dan kepakaran.
Umpamanya, PETRONAS dengan Institut Kemahiran Belia Negara Bandar Penawar, Johor bagi menyediakan khidmat pelatih industri, pembangunan kurikulum dan memenuhi spesifikasi industri petrokimia di Pengerang. Tahun depan, RM100 juta diperuntukkan, menyediakan pensijilan profesional yang diiktiraf industri kepada graduan TVET sebagai insentif.
[Tepuk] Tahun depan, Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp,) akan memanfaatkan dana RM1.6 bilion untuk menyediakan 1.7 juta tawaran latihan. Ini menguntukkan semula dana khas menggunakan 15 peratus daripada jumlah kutipan levi bagi melaksanakan Program Latihan MADANI, merangkumi program latihan semula dan peningkatan kemahiran kepada usahawan PMKS dan golongan rentan seperti bekas banduan, OKU, warga emas dan pesara.
Dato' Seri Anwar bin Ibrahim
Ikhtiar melahirkan lebih banyak bakat masa depan yang memenuhi keperluan industri akan diperkemas oleh, dengan kerjasama agensi kerajaan dan industri. Bagi mengekang kekurangan bakat tempatan dan ketidakpadanan kemahiran, Program Academy in Industry akan dilaksanakan dalam tempoh sehingga lapan- pekerjaan sehingga tempoh 18 bulan dengan peruntukan RM70 juta.
Daya saing negara bagi sektor utama seperti aeroangkasa, peranti perubatan dan digital bergantung kepada pasaran bakat tenaga kerja yang mahir dan cemerlang. RM30 juta galakan kepada industri melatih tenaga kerja tempatan dan pembiayaan inovasi penghasilan produk baharu.
Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) dengan Dana Latihan TVET berjumlah RM180 juta, menyediakan pinjaman pendidikan kepada 12,000 pelatih yang mengikuti Program Persijilan Kemahiran dan ini termasuk manfaat pelatih yang mengikuti bidang maritim, kesenian di ASWARA dan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) bagi sektor aeroangkasa.
Program Tahfiz TVET akan ditingkatkan dengan dana khas RM17 juta kepada pelajar tahfiz mempelbagaikan kemahiran, di samping meneruskan pengajian hafazan.
Dato' Seri Anwar bin Ibrahim
Bagi menggalakkan rakyat meningkatkan kemahiran, pelepasan cukai RM2,000 bagi yuran kursus peningkatan kemahiran dilanjutkan sehingga taksiran 2026. Pelepasan gaya hidup meliputi yuran untuk menyertai kursus kemajuan kendiri seperti kursus bahasa, fotografi, menjahit dan sebagainya akan ditingkatkan.
Sistem levi berperingkat (multitude levy) untuk pekerja asing akan dilaksanakan sebelum hujung tahun 2024. Yakni, mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing, di mana ia melibatkan kadar levi yang lebih tinggi bagi majikan dengan bilangan pekerja asing yang lebih ramai. Kutipan ini akan dipulangkan kepada tabung untuk manfaat majikan bagi automasi atau latihan pekerja tempatan.
Ekonomi rakyat akan terus diangkat. Saya tetap dengan azam supaya Malaysia juga dikenali dengan kemudahan peniaga, gerai, warung yang bersih, indah dan selamat.
Penjaja, peniaga di pasar, terus dipelihara. Dan langkah-langkah ini termasuklah memperbaiki pasar awam yang uzur di 150 kawasan PBT yang harus dibaik pulih dengan peruntukan RM110 juta.
[Tepuk] 10,000 gerai-gerai dan warung-warung kecil akan diperindah dan ditingkatkan tahap kebersihan dengan peruntukan RM10 juta. 4,000 unit ruang niaga baru yang seragam, selesa dan selamat akan dibina oleh keseluruhan PBT dengan peruntukan RM50 juta.
[Tepuk] Ini ,maknanya mengecualikan bayaran sewa kios bagi enam bulan pertama untuk meniaga.
Agensi MARA, PUNB juga terlibat dalam langkah yang sama. Usaha pembelian produk tempatan diperhebat melalui Kempen Beli Barangan Buatan Malaysia dan Perkhidmatan Hasil R&D Tempatan (MySTI) dengan peruntukan RM27 juta. 1,200 perniagaan francais telah berdaftar di bawah KPDN Kos Sara Hidup dan 720 daripadanya dimiliki oleh syarikat tempatan dengan nilai jualan dalam negara mencecah RM30 bilion.
Jenama francais terkenal tempatan seperti Marrybrown, Daily Fresh Foods, Secret Recipe, Smart Reader dan Laundrybar telah menjalankan operasi mereka di 80 buah negara.
[Batuk] [Meneguk sedikit air] Ini galakan kita untuk meningkatkan eksport dengan penyediaan RM10 juta.
Menyokong sektor utama seperti logistik yang terarah, itu harus dijadikan landasan utama ya. Maka logistik sesuai dengan tuntutan semasa untuk menarik lebih banyak kemasukan pelabur dan pelancong bagi memantapkan ekosistem dan kecekapan pelabuhan negara. RM50 juta untuk geran padanan bersama Lembaga Pelabuhan Klang, menyelenggara Jalan Pelabuhan Klang, di samping turut menguatkuasakan had beban lebih muatan ke atas kenderaan berat.
RM20 juta Lembaga Pelabuhan untuk menaik taraf sistem Malaysia Maritime Single Window melalui satu portal digital bersepadu bersama pelbagai agensi.
Pembangunan Pelabuhan Pulau Carey akan direalisasikan melalui request for proposal
(RFP) dalam memperkukuh lagi peranan Pelabuhan Klang.
Bagi menggalakkan lebih banyak komitmen syarikat pelabur menjadikan Malaysia sebagai pusat perkhidmatan global, kerajaan akan memperkenalkan hab perkhidmatan global dengan insentif kadar cukai pendapatan lima peratus atau 10 peratus yang ditentukan berdasar keberhasilan untuk tempoh sehingga 10 tahun.
Lapangan terbang sedia ada harus dinaikkan taraf bagi meningkatkan kemasukan pelabur, peniaga dan pelancong. RM47 juta disediakan bagi menambah baik fasiliti penumpang di terminal Lapangan Terbang Tioman dan memanjangkan landasan sedia ada kepada 1,300 meter.
Kita kaya dengan khazanah alam dan kerencaman budaya dan warisan. Dan niche market ini harus dimanfaatkan untuk segmen ekopelancongan, selam skuba, sukan golf, majlis perkahwinan dan pelancongan kesihatan. Dan oleh itu, kita harus mencergaskan semula sektor pelancongan sebagai enjin pertumbuhan ekonomi negara.
Tahun Melawat Malaysia ditetapkan semula pada tahun 2026 dengan sasaran ketibaan 26.1 juta pelancong asing dan perbelanjaan domestik sebanyak RM97.6 bilion.
RM350 juta bagi merancakkan promosi dan aktiviti pelancongan supaya Malaysia kembali sebagai destinasi pelancongan pilihan utama.
Ini termasuk Kempen Melawat Malaysia, kerjasama dengan industri dalam aktiviti promosi, penganjuran acara pelancongan, bantuan kepada lebih 200 penggiat
Dato' Seri Anwar bin Ibrahim
kebudayaan, yang menganjurkan aktiviti seni dan budaya, geran padanan penerbangan carter dan dana kepada Pusat Pelancongan Islam (ITC) untuk membangunkan industri pelancongan mesra Muslim di Malaysia.
Bangunan dan tapak warisan tumpuan pelancong akan terus dipelihara untuk menjamin keindahan dan kebersihan. RM20 juta disediakan untuk maksud tersebut, memulihara lokasi termasuk Tasik Timah Tasoh di Perlis, Kenong Rimba Park di Pahang, Pantai Teluk Kemang di Negeri Sembilan. RM80 juta disediakan untuk memelihara dan memulihara bangunan dan tapak warisan yang diiktiraf, yang berpotensi diiktiraf oleh UNESCO antaranya Gua Niah, Sarawak; Lembah Bujang, Kedah; dan Royal Belum, Perak. RM20 juta kepada Think City untuk memulihara nilai Kuala Lumpur sebagai bandar raya kreatif dan budaya.
Sektor pelancongan berikan sumbangan besar. Maka kerajaan komited untuk memperkenalkan inisiatif baru di bawah Pelan Liberalisasi Visa Malaysia.
[Tepuk] Pertama, memudah cara kelulusan pas penggajian bagi pelabur strategik dalam sektor utama. Kedua, memperkenalkan pas lawatan sosial jangka panjang untuk pelajar antarabangsa yang telah tamat pengajian bagi menampung keperluan tenaga mahir industri. Ketiga, menambah baik kemudahan visa-on-arrival, pas lawatan sosial dan tawaran multiple entry visa kepada pelancong, terutamanya dari Timur Tengah, atau dunia Arab, India dan China.
[Tepuk] Syarat-syarat sedia ada dilonggarkan bagi Malaysia My Second Home (MM2H) bagi meningkatkan kedatangan pelancong dan pelabur.
[Tepuk] Ini akan meningkatkan aktiviti pelaburan dalam pasaran kewangan dan industri hartanah Malaysia.
Dato' Seri Anwar bin Ibrahim
Tan Sri Yang di-Pertua, bakat-bakat kreatif tempatan akan terus disokong.
Lebih banyak karya seni yang menunjukkan keupayaan potensi luar biasa. RM160 juta disediakan bagi manfaat penggiat seni. RM60 juta di bawah Dana Kandungan Digital mempromosi karya tempatan yang berteraskan nilai kenegaraan. RM90 juta di bawah inisiatif Film in Malaysia Incentive menggalakkan penghasilan filem bertaraf, bertaraf antarabangsa. RM10 juta Skim Dana Padanan MyCreative [Tepuk] Susulan keputusan negeri Selangor untuk menurunkan kadar cukai hiburan, kerajaan turut bercadang untuk menurunkan kadar duti hiburan bagi Wilayah Persekutuan [Tepuk] daripada 25 peratus kepada kadar baharu seperti berikut:
(i) pengecualian sepenuhnya duti hiburan bagi persembahan pentas oleh artis tempatan [Tepuk] ;
(ii) pengurangan lima peratus duti hiburan bagi taman tema, pusat rekreasi keluarga, pusat permainan indoor dan simulator [Tepuk] ; dan
(iii) pengurangan 10 peratus duti hiburan bagi persembahan pentas oleh artis antarabangsa dan acara hiburan lain seperti sukan dan permainan.
Saya ingin menyeru kerajaan-kerajaan negeri supaya mempertimbangkan pengurangan duti hiburan terutama bagi bakat-bakat kreatif tempatan.
[Tepuk] Artis-artis tempatan sering mengeluh kerana cukai 25 peratus itu dianggap terlalu tinggi dan tidak memberi galakan pada kreativiti dan persembahan yang bernilai.
Semasa Jelajah Belanjawan MADANI di negeri Selangor, saya terkesan dengan pendekatan Kerajaan dengan masuk, menggalakkan kemasukan produksi filem asing ke Malaysia, ya. Jadi tawaran yang menyaingi tawaran insentif negara lain. Maka kerajaan bercadang untuk menetapkan kadar cukai pendapatan khas antara kosong hingga 10 peratus kepada syarikat produksi filem, pelakon filem asing dan kru filem yang menjalankan penggambaran filem di Malaysia.
[Tepuk] Sebagai pengiktirafan kepada tokoh, penggiat seni, budaya dan warisan, kerajaan akan kembali menganjurkan Anugerah Seni Negara secara tahunan.
[Tepuk] Malaysia perlu menekankan model pertumbuhan ekonomi yang dipimpin oleh aktiviti penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi (R&D&C&I). Bagi memasuki 30 negara teratas dalam Indeks Inovasi Global menjelang 2025. RM510 juta
Dato' Seri Anwar bin Ibrahim
tersedia sebagai dana R&D di bawah Kementerian Sains, Teknologi & Inovasi dan Kementerian Pendidikan Tinggi. Antaranya, RM50 juta dikhususkan sebagai geran padanan untuk universiti awam bekerjasama dengan sektor swasta bagi merancakkan aktiviti penyelidikan dan inovasi. RM76 juta untuk perkasa ekosistem R&D dan produk hasil ciptaan perusahaan perniagaan, NGO dan jabatan kerajaan.
INNOVATHON yang mula diluncurkan tahun ini mengetengahkan banyak hasil ciptaan anak tempatan yang boleh dikomersialkan. Dan ini harus di semarak supaya pendayaciptaan di kalangan rakyat. Bagi membudaya pendayaciptaan dalam kalangan pemain industri, RM10 juta disediakan bagi melibatkan bidang, dalam bidang teknologi E&E di bawah MIMOS, sektor angkasa di bawah MYSA dan teknologi dron dan robotik di bawah MRANTI.
Sektor agrikomoditi telah menyumbang RM38 bilion atau lima peratus kepada KDNK. RM77.4 bilion atau 11 peratus kepada eksport negara. Pencapaian ini amat membanggakan dan tetap tidak terlepas daripada pelbagai tantangan dan kemeruapan brutality ekonomi global. Ini termasuklah kesan pelaksanaan non-tariff barrier oleh negara pengimport seperti European Union Deforestation-Free Regulation, isu kebergantungan tenaga asing dan adaptasi teknologi moden. TPM II telah ditugaskan untuk berunding supaya kita bina kekuatan bersama Indonesia untuk menangani tekanan daripada European Union. RM2.4 bilion disediakan untuk FELDA, FELCRA dan RISDA untuk terus merancakkan agrikomoditi terutama sosioekonomi pekebun kecil. Menjelang 2027, keluasan sawit tua lebih 25 tahun dijangka mencapai lebih 560,000 hektar dan ini akan menjejaskan hasil buah tandan segar dan kerugian RM7 bilion setahun. Bagi membendung masalah ini, kerajaan akan menyediakan Insentif Program Tanam Semula Sawit dengan peruntukan RM100 juta. Ini ditawarkan secara geran dan pinjaman kepada 7,000 pekebun kecil sawit persendirian. Kerajaan menyediakan RM70 juta bagi meningkatkan tahap kemapanan industri sawit serta memperhebat kempen menangani anti minyak sawit di pentas antarabangsa.
Lembaga Getah Malaysia berjaya membangun kaedah penggunaan gas stimulan. Pengeluaran getah sehingga tiga kali ganda di samping mampu menambah jangka hayat pokok sehingga 25 tahun. Untuk itu, RM10 juta, RM10 juta disediakan bagi melaksanakan projek rintis penggunaan gas stimulan. Ini akan memberi manfaat kepada pekebun kecil getah di ladang seluas 1,000 hektar.
RM90 juta kepada RISDA dan FELCRA untuk menggalakkan pekebun kecil mengoptimumkan penggunaan tanah ladang seperti cendawan, nanas, kelapa matag, lembu dan ayam. Bagi meningkatkan hasil perladangan dan mengurangkan kebergantungan kepada tenaga buruh asing, mekanisasi dan automasi seperti dron dan kenderaan pandu sendiri, skop galakan cukai automasi akan diperluas di bawah Kementerian Perladangan dan Komoditi.
Saya telah menaikkan paras harga pengaktifan Insentif Pengeluaran Getah dalam belanjawan dulu daripada RM2.50 kepada RM2.70. Tetapi, pekebun getah masih mengeluh. Mereka masih tetap dalam kategori yang agak miskin dan oleh itu, pada hari ini saya ingin umumkan bahawa paras itu akan dinaikkan RM3.00 sekilogram.
[Tepuk] Dengan peruntukan RM400 juta.
Peranan GLIC dan GLC amat besar sebagai nadi penggerak ekonomi. Nilai pelaburan terkumpul dianggar RM130 bilion ya. Ini pelaburan domestik, langsung domestik, modal teroka syarikat pemula berinovasi tinggi dan pertumbuhan hijau. GLC dan GLIC meningkatkan sumbangan mereka dalam pelaksanaan pelbagai program iaitu daripada RM250 juta pada tahun 2023 kepada RM300 juta, 2024.
Peluncuran Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga (NETR) menggariskan enam pemacu utama peralihan tenaga melibatkan tenaga boleh baharu, hidrogen, mobiliti hijau serta pemerangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS). Bagi menterjemah hasrat ini, kerajaan menyediakan Dana Mudah Cara Peralihan Tenaga keseluruhan berjumlah RM2 bilion.
Institusi kewangan menyediakan dana nilai keseluruhan RM200 bilion untuk mendorong industri beralih ke arah ekonomi rendah karbon. Bagi mencapai sasaran 70 peratus kapasiti tenaga menjelang 2050, pelaksanaan Corporate Green Power
Dato' Seri Anwar bin Ibrahim
Programme diteruskan. Satu kaedah yang akan menetapkan pelaksanaan model Akses Pihak Ketiga dan untuk memacu pelaburan dalam kapasiti tenaga boleh baharu.
Kerajaan akan terus melonjakkan pembangunan industri kenderaan elektrik (EV) supaya penerimaan rakyat terhadap penggunaan EV ditingkatkan. Kita alu-alukan pelaburan lebih RM170 juta oleh TNB, Gentari, Tesla Malaysia untuk memasang 180 stesen pengecasan EV.
[Tepuk]
Dato' Seri Anwar bin Ibrahim
Kerajaan memperkenalkan Skim Galakan Penggunaan Motosikal Elektrik kepada rakyat berpendapatan tahunan RM120 ribu ke bawah. Skim ini akan memberikan rebat sehingga RM2,400 kepada pembeli.
[Tepuk] Bagi menyokong keperluan projek LRT3, Prasarana Malaysia Berhad bersetuju memperoleh 150 bas elektrik dan membina tiga depoh bas dengan kos RM600 juta.
Kerajaan bercadang melanjutkan pelepasan cukai pendapatan individu sehingga RM2,500 ke atas perbelanjaan kemudahan pengecasan EV untuk tempoh empat tahun dan potongan cukai bagi kos sewaan EV untuk tempoh dua tahun lagi.
Pasangan memasang panel solar turut akan dipertingkatkan. Kerajaan juga sedia melanjutkan tempoh tawaran program Net Energy Metering (NEM) sehingga 31 Disember 2024, yakni memasang panel di premis kediaman. Kerajaan juga membangunkan pembelian balik solar di bumbung bangunan dengan implikasi kos kepada sistem yang minimum...
[Tepuk] dan menawarkan model langganan “Kos Modal Sifar”, seperti yang akan ditawarkan oleh Gentari bagi kategori rumah kediaman.
Putrajaya akan dijadikan model bandar rendah karbon Malaysia.
[Tepuk] Kerajaan akan mula memasang panel solar di atap bangunan kerajaan dengan kerjasama TNB dan Gentari.
[Tepuk] Dan perolehan baharu kenderaan elektrik sebagai kenderaan rasmi.
Kerajaan akan terus menyokong Pelaburan Mampan Bertanggungjawab (SRI).
Melanjutkan pengecualian cukai kepada syarikat pengurusan dana serta potongan cukai ke atas kos penerbitan sukuk sehingga tahun taksiran 2027. Untuk menggalakkan lebih banyak penglibatan syarikat menyertai pasaran karbon sukarela, cukai tambahan sehingga RM300 ribu diberikan kepada syarikat yang membuat perbelanjaan ke atas Measurement, Reporting and Verification (MRV). Perbelanjaan ini boleh ditolak daripada pendapatan penjualan kredit karbon yang dicadangkan di Bursa Carbon Exchange (BCX).
Akta Petroleum 1967 kekal relevan dengan keperluan semasa industri huluan minyak dan gas di samping meningkatkan minat pelabur asing. Jawatankuasa Semakan Semula Akta Petroleum yang dianggotai Kementerian Kewangan, LHDNM dan PETRONAS sedang mengkaji dan merangka insentif cukai bagi projek CCS dan Hydrogen Sulfide dan dimuktamadkan, insya-Allah, menjelang akhir tahun ini.
Kerajaan terus menyokong usaha kerajaan negeri meningkatkan peratusan kawasan perlindungan hutan, melindungi hidupan liar yang terancam. Peruntukan Ecological Fiscal Transfer for Biodiversity Conservation akan ditingkatkan kepada RM200 juta.
Peranan renjer komuniti berjaya membanteras pencerobohan pembalakan haram dan perlombongan haram serta pembunuhan hidupan liar. Maka, bilangan renjer komuniti akan ditambah menjadi 2,000 orang tahun ini. Meningkatkan penguatkuasaan kawasan hutan simpanan kekal. RM60 juta untuk melantik renjer daripada kalangan veteran ATM, PDRM, Orang Asli dan komuniti setempat.
[Tepuk] Konflik hidupan liar seperti gajah, harimau dan tapir yang merosakkan harta benda dan tanaman dengan nilai kerugian dianggarkan RM43 juta. RM10 juta disediakan bagi membantu meringankan beban kerugian yang ditanggung oleh rakyat akibat konflik dengan hidupan liar.
Kerajaan Persekutuan akan mempelopori penerbitan sukuk biodiversiti sehingga RM1 bilion untuk melibatkan penanaman semula hutan terosot yang akan menjanakan kredit karbon dan kita akan adakan usaha sama dengan kerajaan negeri yang berminat dan bakal memanfaatkan kredit karbon yang dijanakan. Penyediaan pelbagai bentuk potongan cukai bagi aktiviti pemeliharaan dan pemuliharaan, menggalakkan penglibatan lebih banyak sektor swasta dan melalui projek amal atau komuniti.
Dato' Seri Anwar bin Ibrahim
Untuk ini, kerajaan akan memberi potongan cukai kepada entiti yang menaja aktiviti penanaman pokok atau projek kesedaran pemeliharaan yang disahkan oleh Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM). Kita juga menyokong usaha menghasilkan impak alam sekitar dan sosial. Di bawah Malaysia Madani, kerajaan akan melanjutkan tempoh pengecualian cukai ke atas semua pendapatan perusahaan sosial sehingga tahun 2025.
Kita telah meletakkan jumlah peruntukan yang besar bagi membiayai projek tebatan banjir mencecah RM22 bilion. Projek berimpak tinggi, jangka panjang menjamin kemaslahatan rakyat, membendung kehilangan nyawa dan harta benda. Pendirian kerajaan tetap tegas dalam soal perolehan, bahawa ia hendaklah dilaksanakan secara tender bagi mengelakkan pembaziran.
Tahun hadapan, sejumlah 33 projek tebatan banjir berkeutamaan tinggi akan mula dilaksanakan dengan kos melibatkan RM11.8 bilion. Antara projek terlibat termasuklah rancangan tebatan banjir di;
(i) Lembangan Sungai Pahang;
(ii) Sungai Langat Fasa 2;
(iii) Sungai Jelai, Kuala Pilah;
(iv) Sungai Likas, Kota Kinabalu;
(v) Kuching Fasa 2;
(vi) Baling Fasa 2; dan
(vii) Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu, Sungai Kelantan Fasa 2.
Surat setuju terima (SST) bagi 24 projek dikeluarkan pada bulan ini melibatkan kos keseluruhan RM5.1 bilion. Bakinya dikeluarkan SST pada suku tahun pertama 2024.
RM20 juta disediakan kepada 150 PBT untuk melaksanakan kerja-kerja pembaikan parit dan longkang yang rosak.
[Tepuk] Tragedi tanah runtuh seperti yang telah berlaku di Batang Kali, untuk mengelakkan berulang, kerajaan menyediakan RM563 juta bagi pembaikan cerun seluruh negara.
[Tepuk] 2,000 cerun yang berisiko tinggi yang dikenal pasti.
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) selaku agensi utama diperuntukkan RM300 juta. Ini disalurkan segera usai pembentangan ini menggunakan peruntukan 2023 terutama dalam menghadapi persiapan banjir hujung tahun ini atau awal tahun depan. Peruntukan di bawah Tabung Bantuan Bencana Negara ditambah kepada RM200 juta.
NADMA juga akan mempertingkatkan tahap keselesaan pusat pemindahan.
Antaranya, sembilan pusat pemindahan kekal, membaik pulih tandas, bilik mandi dan stor di 1,500 pusat pemindahan sementara. Pada setiap masa, kerajaan bersedia menambah peruntukan sekiranya diperlukan.
Kita semua mesti mengingati Blake, anggota Unit Pengesan K9 Bomba yang meninggal. Kerajaan akan menambah baik kemudahan dan rawatan perubatan bagi anjing K9 Jabatan Bomba dan Penyelamat...
[Tepuk] Dengan peruntukan RM5 juta.
Gangguan rantaian bekalan makanan global telah memberi dampak langsung kepada seluruh dunia dan kita tidak terlepas daripada himpitan itu. Kenaikan harga beras berlaku di Malaysia disebabkan keputusan 19 negara mengehadkan eksport beras untuk kegunaan sendiri. Kerajaan memutuskan empat langkah segera. Kerajaan akan terus memperhebat usaha menjamin kelangsungan industri agromakanan.
Belanjawan kedua menyediakan RM2.6 bilion bagi menyalurkan pelbagai bentuk subsidi dan insentif kepada para pesawah dan nelayan. RM600 juta selaras dengan keputusan kerajaan menaikkan kadar Skim Subsidi Harga Padi yang sudah kita naikkan dua bulan lalu dari RM360 kepada RM500 per metrik tan yang memberi faedah langsung kepada pesawah. Tetapi rungutan masih didengar kerana pihak pengilang telah menurunkan tahap minimum RM1,200 per metrik tan. Sedangkan sebelum ini harga belian oleh pengilang jauh lebih tinggi. Kerajaan telah menetapkan harga lantai pada
Dato' Seri Anwar bin Ibrahim
RM1,200 sejak tahun 2014. Maka, pada hari ini saya setuju untuk meningkatkan harga lantai belian padi kepada RM1,300 per metrik tan.
[Tepuk]
Dato' Seri Anwar bin Ibrahim
Kerajaan telah memulakan usaha rintis penanaman padi lima musim dalam tempoh dua tahun di beberapa kawasan jelapang antaranya di Bota Kiri, Perak; Kangar, Perlis; Kota Sarang Semut, Kedah. Ini memperbaiki pengairan di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda Perlis dan Kedah dan pengeluaran padi diperlukan walaupun pelaburan setakat ini bernilai RM3 bilion. Peruntukan subsidi padi bukit atau padi huma yang ditanam di Sarawak khususnya kita tambah menjadi RM50 juta.
[Tepuk] Untuk manfaat para nelayan, kerajaan mengekalkan subsidi diesel pada harga terendah iaitu RM1.65 seliter kepada nelayan kelas tertentu dengan kuota 840 juta liter setahun. Nelayan juga diberi elaun sara hidup sehingga RM300 sebulan dan Insentif Hasil Tangkapan Nelayan sehingga RM1,000 sebulan. Kerajaan juga menyediakan RM10 juta untuk tujuan membina baharu dan baik pulih rumah nelayan yang uzur.
RM400 juta disediakan bagi melaksanakan Program Pengukuhan Keterjaminan Makanan untuk mengurangkan kebergantungan kepada import luar. RM150 juta untuk kerjasama dengan kerajaan negeri mengoptimumkan penggunaan tanah bagi meningkatkan hasil tanaman dan ternakan. RM50 juta perolehan baja secara tender terbuka untuk memberi pesawah pilihan baja yang ingin digunakan. Tidak seperti sekarang di mana mereka ditetapkan, tidak berhak memilih tapi sekarang kita berikan melalui tender pilihan kepada pesawah dan penternak. Maaf, pekebun.
Bagi menyokong peningkatan kapasiti pengeluaran produk pertanian dan daya saing Agropreneur Muda, Agrobank menyediakan kemudahan pinjaman sehingga RM430 juta keseluruhannya. Petani, penternak dan nelayan yang berdepan dengan musibah bencana sehingga memusnahkan hasil tanaman. RM50 juta disediakan di bawah Tabung Bencana Pertanian memberi pampasan sehingga 50 peratus akibat kerugian. RM50 juta di bawah Skim Takaful Tanaman Padi untuk manfaat lebih 240,000 pesawah.
Sebagaimana ungkapan dalam Thirukkural, [Tepuk] [Berucap dalam bahasa Tamil] [Ketawa] , dengan izin.
Tuan Sanisvara Nethaji Rayer a/l Rajaji - Jelutong
Betul, betul, betul.
Dato' Seri Anwar bin Ibrahim
Betul?
Tuan Sanisvara Nethaji Rayer a/l Rajaji - Jelutong
Betul, betul.
Dato' Seri Anwar bin Ibrahim
Ini peringatan kepada pemerintah kalau kita ada kuasa mesti gunakan, majukan khazanah dalam negara, himpunkan kekayaan itu...
Tuan Sanisvara Nethaji Rayer a/l Rajaji - Jelutong
Betul, betul.
Dato' Seri Anwar bin Ibrahim
...Untuk melindungi supaya tidak diceroboh dan memberi manfaat kepada rakyat.
[Tepuk]
Tuan Sanisvara Nethaji Rayer a/l Rajaji - Jelutong
Betul, betul, betul.
[Tepuk]
Dato' Seri Anwar bin Ibrahim
Demikian, nasihat Thirukkural. Bagi tahun 2024, RM58.1 bilion disediakan untuk membiaya pelbagai bentuk pemberian kerajaan kepada rakyat. 50 peratus untuk mengawal harga barang perkhidmatan. RM225 juta membiaya kos pengedaran barangan seperti petrol, LPG, tepung beras, minyak masak. Ini di bawah Program Community Drumming. Ini diperluas termasuk di Abai Sandakan, Sabah dan Engkerebai Mukah, Sarawak.
Payung Rahmah yang telah mencatat kejayaan yang membanggakan atas cetusan idea Almarhum Datuk Seri Salahuddin Ayub agar terus diperkasa dengan tambahan penyediaan RM200 juta melaksanakan Payung Rahmah. Ini termasuk Jualan Rahmah dan Pasar Rahmah untuk pengusaha, Sumbangan Tunai Rakyat dan Sumbangan Asas Rahmah.
Saya mendengar keluhan majoriti rakyat yang mendepani cabaran kos sara hidup dan kenaikan harga barang. Ini menjadi keutamaan kerajaan dalam memastikan isi rumah berpendapatan rendah terus diberi bantuan sewajarnya. Hikmah penyasaran semula
Dato' Seri Anwar bin Ibrahim
subsidi, membolehkan kerajaan menambah baik dan meningkatkan pemberian tunai kepada rakyat melalui STR.
Pemberian STR akan memanfaat sembilan juta penerima atau 60 peratus daripada penduduk dewasa Malaysia. Peruntukan STR meningkat sebanyak RM2 bilion atau 25 peratus daripada RM8 bilion kepada RM10 bilion. Kadar maksimum STR juga meningkat daripada RM3,100 kepada RM3,700.
[Tepuk] Kadar minimum STR juga untuk golongan belia meningkat daripada RM350 kepada RM500.
[Tepuk] Bayaran pertama STR untuk isi rumah biasanya maksimum RM300. Untuk STR 2024, bayaran pertama STR akan dinaikkan kepada RM500 yang insya-Allah akan disalurkan sebelum Ramadan.
Kita telah perkenalkan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dengan mengkreditkan ke dalam MyKad 200,000 penerima STR sebanyak RM100 sebulan untuk tempoh enam bulan. Jadi, penerima hanya perlu ke kedai runcit untuk membeli keperluan asas hanya dengan menggunakan MyKad. Kerajaan memutuskan untuk meluaskan manfaat SARA kepada 700,000 penerima STR yang akan menerima RM100 sebulan tambahan untuk tempoh 12 bulan.
[Tepuk] STR 2024 juga akan mengambil pendekatan berbeza iaitu kerajaan akan membuka permohonan baharu seawal November 2023 dan permohonan akan dibuka sepanjang tahun berbanding setahun sekali sebelum ini. Insya-Allah, bayaran pertama sehingga RM500 akan dibuat pada akhir Februari 2024.
[Tepuk] IPR yang diluncurkan tahun ini telah berjaya meningkatkan pendapatan bulanan kepada lebih 2,000 peserta. Di bawah program INSAN umpamanya, peserta telah berjaya meraih hasil jualan purata sehingga RM14,000 sebulan. Tahun depan, RM500 juta disediakan untuk meningkatkan penyertaan lebih ramai rakyat miskin tegar mengikut program IPR.
[Tepuk] Usaha menoktahkan kemiskinan tegar terus menunjukkan kemajuan dengan data terkini menunjukkan kadar kemiskinan tegar telah merudum daripada angka satu peratus tahun 2020 kepada 0.2 peratus iaitu hanya 18,000 isi rumah sekarang yang mampu ditangani sebelum akhir tahun ini.
[Tepuk] Kerajaan bersetuju semua lantikan MySTEP disediakan tawaran mengikuti program peningkatan kemahiran bawah platform MyFutureJobs dan ini akan memberikan kejayaan masa depan dan meraih pendapatan yang lebih tinggi, menawarkan 50,000 peluang pekerjaan secara kontrak dalam sektor awam dan syarikat.
Kerajaan akan terus menggalakkan golongan mudah terjejas seperti OKU, bekas banduan, warga emas mendapat pekerjaan dengan gaji bermakna. Bagi menggalakkan majikan swasta menggaji golongan rentan, PERKESO akan menyediakan insentif khas sebanyak RM1,500 sebulan selama enam bulan untuk menyokong kemasukan lebih 3,300 pencari kerja dengan peruntukan RM30 juta.
[Tepuk] Pekerjaan kepada OKU diperluas termasuk bekas banduan, warga emas melalui padanan pekerjaan MyFutureJobs dan MySTEP. Golongan rentan yang mengikuti MySTEP ditawarkan penempatan secara kontrak dengan elaun RM1,500.
Kerajaan akan meneruskan Program Bina Kerjaya PERKESO terutama yang terlibat dalam ekonomi gig mempunyai peluang mengikuti program pembangunan kerjaya dan latihan kemahiran micro-credential. RM35 juta disediakan dan insentif gantian pendapatan kepada 9,000 pekerja gig.
Bantuan disalurkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat melibatkan peruntukan RM2.4 bilion kepada 450,000 rakyat isi rumah miskin tegar, warga emas, kanak-kanak dan OKU. Ini ditetapkan supaya selaras dengan kenaikan Pendapatan Garis Kemiskinan Makanan 2023 iaitu RM1,198 sebulan.
Dato' Seri Anwar bin Ibrahim
Penjualan nombor plat khas akan manfaatkan dan meringankan beban golongan kurang berkemampuan. Maknanya, apa-apa kelebihan dan keuntungan dipulangkan untuk membantu secara langsung golongan untuk membayar ujian memandu bagi lesen motosikal kelas B2, e-hailing, teksi untuk manfaat 40,000 belia daripada keluarga kurang mampu termasuk 100,000 topi keledar, termasuk untuk kanak-kanak dibekalkan untuk diagih secara percuma kepada keluarga kurang mampu.
Dato' Seri Anwar bin Ibrahim
FLYsiswa iaitu bantuan subsidi pembelian tiket penerbangan bagi mengurangkan beban kewangan pelajar yang ingin pulang ke kampung halaman itu disediakan, akan memberi manfaat kepada 60,000 pelajar daripada keluarga kurang mampu terutama Sabah dan Sarawak.
Kerajaan akan menambah baik program perlindungan sosial yang mendapat perlindungan sewajarnya. Kadar tanggungan kerajaan di bawah skim keselamatan sosial akan ditingkatkan kepada 90 peratus dengan peruntukan RM100 juta.
Syarikat pengendali untuk menanggung baki 10 peratus caruman bagi pihak pekerja gig harus tanggung dan tunjukkan simpati dan keprihatinan kepada kelompok ini.
Saraan KWSP ditingkatkan kepada RM500 setahun terhad kepada RM5,000 seumur hidup. Had caruman padanan kerajaan di bawah program i-Suri ditingkatkan kepada RM300 setahun terhad kepada RM3,000 seumur hidup. Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah diteruskan dengan RM50 juta memanfaatkan lebih 400,000 suri rumah tangga yang berdaftar di bawah e-Kasih. i-Sayang KWSP diperluas untuk membolehkan isteri memindahkan dua peratus caruman syer pekerja kepada suami.
Selanjutnya, kerajaan akan meningkatkan siling gaji bulanan bagi caruman PERKESO daripada RM5,000 kepada RM6,000 dan ini akan menambahkan kadar 20.2 peratus untuk manfaat 1.45 juta pekerja dan tanggungan mereka.
Akaun Fleksibel KWSP akan diperkenalkan sebagai akaun baharu yang boleh diakses pada bila-bila masa.
Menyokong pemerkasaan golongan tumpuan termasuk pertingkatkan supaya memastikan kesaksamaan peluang antara rakyat, menyediakan bantuan khusus untuk golongan tertentu.
Agenda bumiputera. Kita mengambil iktibar dari pengalaman lampau yang membenarkan keterlanjuran dan kecuaian berlaku hingga akhirnya merugikan agensi bumiputera. Institusi utama negara tidak boleh lari daripada matlamat asal penubuhan.
Salah tadbir urus lampau juga memaksa kerajaan menanggung kerugian Tabung Haji RM20 bilion, FELDA RM10 bilion, LTAT RM2 bilion. Dalam berdepan masalah, amatlah tidak wajar institusi utama membuat penyelesaian menjual aset strategik. Kerajaan menegaskan bahawa aset strategik badan-badan bumiputera tidak boleh dengan mudah dan sewenang-wenangnya dipindahkan.
[Tepuk] Melangkah ke depan, institusi pelaburan bumiputera akan dipusatkan di bawah Yayasan Pelaburan Bumiputera dan menggabungkan badan-badan dan agensi bumiputera dengan suntikan tanah strategik kerajaan khususnya Kuala Lumpur bagi projek pembangunan perumahan dan ini akan memberikan — Dan memperkukuh pengembangan perniagaan bumiputera dengan kerjasama PNB dan PUNB.
Institut pendidikan di bawah MARA termasuk UiTM hendaklah menumpukan kepada latihan dan peningkatan kemahiran bakat baharu tempatan bumiputera dalam bidang berpertumbuhan tinggi seperti ekonomi Islam, aeroangkasa dan industri kreatif.
RM1.6 bilion nilai kemudahan pinjaman jaminan disediakan khusus untuk usahawan PMKS bumiputera meningkatkan kapasiti dan daya saing.
Golongan wanita dan kanak-kanak. Menetapkan penanda aras supaya kadar penyertaan wanita dalam tenaga buruh ditingkatkan. Bagi terus menggalakkan wanita untuk kembali bekerja, galakan cukai bagi wanita untuk kembali bekerja dilanjutkan sehingga 31 Disember 2027. Had pengecualian cukai pendapatan ke atas elaun penjagaan anak yang diterima oleh pekerja dibayar terus oleh majikan kepada pusat jagaan kanak-kanak ditingkatkan daripada RM2,400 kepada RM3,000.
[Tepuk] Pusat tahanan imigresen bukannya tempat untuk anak-anak. Tidak perlu pun kita rujuk kepada konvensyen antarabangsa supaya kita sedar perihal tersebut dan cukup dengan secebis ihsan di sudut hati. Oleh itu, kita akan perintis program Baitul Mahabbah Jabatan Imigresen bagi menyediakan penempatan sementara bagi kanak-kanak ini.
[Tepuk] Dimulakan dengan satu di Sabah, Sarawak dan Semenanjung dengan peruntukan RM10 juta.
Dato' Seri Anwar bin Ibrahim
Bagi tahun depan, KEMAS akan diperuntukkan sebanyak RM586 juta. Sepuluh buah tabika dan taska baharu dengan kos RM31 juta akan dibina antaranya di Kampung Paya Berenjut, Kemaman; Felda Jelai 1, Tampin; Taman Kota Masai, Johor Bahru. RM20 juta disediakan bagi menaik taraf premis Pendidikan Awal Kanak-kanak KEMAS. 26 buah prasekolah baharu di bawah Kementerian Pendidikan akan dibina melibatkan kos RM82 juta. Ini termasuk pembinaan bangunan prasekolah di Simunjan; Bunut Rendang, Kuantan; Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Chabau, Melaka.
Penghayatan pendidikan Islam dan ilmu al-Quran akan terus diperkasa. Kerajaan akan melaksanakan Program Pra Tahfiz KEMAS dengan peruntukan RM20 juta dengan sasaran untuk melahirkan 100,000 hufaz cilik menjelang 2025.
[Tepuk] Bagi membudaya semangat kesukarelawanan dalam kalangan belia 18-20 tahun, kerajaan akan menerapkan konsep pay it forward RM500 kepada golongan belia yang berjaya melakukan aktiviti kesukarelawanan dengan badan yang diiktiraf oleh kerajaan.
[Tepuk] Program Rakan Muda telah diberi nafas baharu membentuk jati diri dan berkeperibadian anak muda. Peruntukan ditambah kepada RM20 juta untuk Rakan Muda Sejak dilaksanakan, Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) telah melahirkan 7,000 usahawan belia bumiputera dan hampir 14,000 peluang pekerjaan. Ini diteruskan dengan peruntukan RM20 juta. Mobilepreneur turut diteruskan, RM10 juta.
[Disampuk] Mobilepreneur, okey.
[Ketawa] Bagi mempromosi Malaysia sebagai hab pembangunan industri e-sukan, RM30 juta diperuntukkan untuk menggalakkan syarikat atau studio permainan video antarabangsa melabur di Malaysia.
Komuniti tumpuan, Orang Asli diperuntukkan RM333 juta.
[Tepuk] Satu penambahan daripada tahun lalu. Ini perlaksanaan projek sosioekonomi, prasarana perkampungan Orang Asli dan pemberian bantuan sosial. RM28 juta untuk pembangunan usahawan Orang Asli serta penanaman semula ladang Orang Asli di Batang Padang, Perak dan Hulu Langat, Selangor.
OKU harus dilindungi untuk lebih mandiri. RM1.2 bilion disalurkan melalui pelbagai bentuk bantuan seperti penjagaan OKU kronik terlantar, OKU tidak upaya bekerja dan elaun pekerjaan OKU. Kadar elaun pelatih OKU mengikuti Program Pemulihan Dalam Komuniti ditingkatkan kepada RM300 sebulan ketimbang RM150 sekarang. Ini betul-betul keihsanan dalam Madani. Bagi memberikan manfaat kepada usahawan OKU mikro, kemudahan pembiayaan khas oleh BSN disediakan sebanyak RM50 juta.
Warga emas. RM1 bilion diperuntukkan bagi melindungi kesejahteraan warga emas. Ini termasuk institusi penjagaan dan pusat aktiviti warga emas.
Dato' Seri Anwar bin Ibrahim
Elaun Bangunan Industri diberikan juga kepada Rumah Jagaan Kejururawatan Swasta Warga Emas yang diluluskan oleh Kementerian Kesihatan. Ini termasuk kos pengubahsuaian bagi setiap tahun taksiran.
Golongan banduan dan pelarian. Program PEKA (Peluang Kedua Anda) oleh Jabatan Penjara telah berjaya menyediakan peluang pekerjaan. Tahun depan, selain meneruskan kerjasama dengan syarikat untuk menjayakan program PEKA, RM10 juta disediakan bagi melaksanakan Program PEKA TVET.
Dalam semangat memberi peluang kedua, kerajaan juga akan membentangkan pindaan Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 bagi membolehkan penagih dadah menerima rawatan dan pemulihan tanpa dimasukkan ke institusi penjara.
[Tepuk] Krisis kemanusiaan dari negara serantau memberi tempias. Ini termasuk pelarian dan pencari suaka di Malaysia, dari Myanmar yang tertindas di negara asal. Sebab itu, kita mengambil satu pendekatan yang agak keras di ASEAN terhadap kelecehan Kerajaan Junta Myanmar.
Menyediakan kemudahan asas terbaik. Kata pujangga dan pemikir Jose Rizal, pejuang kebebasan, “Without education and liberty, that soil and the sun of mankind, no reform is possible, no measure can give the result desired”, (Jose Rizal). Jadi, sebab itu,
Dato' Seri Anwar bin Ibrahim
penanda aras kita haruslah dalam Indeks Pembangunan Manusia dan antara kriteria adalah tahap pendidikan dan kesihatan rakyat.
Pendidikan, termasuk pendidikan tinggi, kekal menjadi tumpuan dan keutamaan kita. Kementerian Pendidikan, khususnya akan diperuntukkan RM58.7 bilion.
[Tepuk] Penambahan besar RM1.9 bilion untuk menaik taraf dan menyelenggara sekolah-sekolah di seluruh negara. RM930 juta, kerajaan naik taraf bangunan termasuk 185 projek prasarana daif di Sarawak dan 155 di Sabah. RM1 bilion penyelenggaraan semua jenis sekolah. Sekolah kebangsaan, sekolah agama, sekolah Cina, sekolah Tamil, sekolah pendidikan khas [Tepuk] . 26 buah sekolah baharu dibina dengan kos RM2.5 bilion. Ini termasuk di Tuaran; Bintulu; Kuantan; Bandar Seri Iskandar, Perak; Kota Bharu, Kelantan.
Tak pernah tinggal Kelantan.
Mulai tahun depan, kerajaan bersetuju meluaskan kriteria pendapatan ibu bapa bagi permohonan Biasiswa Kecil Persekutuan mengikut kadar pendapatan garis kemiskinan. Peluasan syarat ini akan memberi peluang tambahan kepada 35,000 lagi anak bangsa daripada keluarga kurang mampu untuk mendapat BKP.
Kerajaan turut bersetuju memperluas pemberian bantuan di bawah Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin kepada murid sehingga Tingkatan 3 berbanding Tingkatan 1 sebelum ini. Satu juta murid akan menerima manfaat peruntukan RM150 juta.
Kementerian Pendidikan merekodkan penurunan penyertaan murid menengah atas dalam aliran Sains, Teknologi dan Kejuruteraan, dan Matematik (STEM) dan ini tentunya membimbangkan.
Bagi memperkasakan STEM, Jawatankuasa STEM rentas kementerian ditubuhkan bagi menetapkan sasaran serta langkah bagi meningkatkan penyertaan bidang STEM di kalangan pelajar sekolah menengah.
RM100 juta bagi menyelenggara dan menarik taraf makmal komputer sekolah, menaikkan taraf makmal komputer sekolah. Wakil industri akan turut terlibat untuk meningkatkan minat murid mempelajari STEM.
Kerajaan akan memperkasa melindungi kesejahteraan murid keperluan khas. 18 blok baharu pendidikan khas akan dibina dengan kos RM180 juta. Ini termasuk Kubang Rotan, Kedah; Bandar Baru Perda, Pulau Pinang; dan Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Ali Ahmad, Perlis. RM30 juta untuk peralatan sokongan pendidikan khas, untuk memudahkan urusan murid dan guru di sekolah.
Penerapan Karamah Insaniah dalam kalangan murid sekolah diperluas, menumpukan ke nilai kepimpinan, sahsiah, adab dan integriti.
Malaysia merekodkan penutupan sekolah tertinggi negara serantau ketika pandemik. Maka, sebilangan murid yang tercicir memerlukan bimbingan lanjut. RM100 juta disediakan untuk memberikan peluang pendekatan holistik, mengajak yang tertinggal untuk kembali meneruskan pendidikan mereka.
Cadangan untuk meningkatkan bidang pendidikan mesti melibatkan pendidik, keluarga dan ibu bapa. Dan ini dapat dilaksanakan melalui Jelajah Masa Depan [Tepuk] . Kecemerlangan pendidikan tinggi diukur pada kejayaan melahirkan bakat muda.
Universiti sebagai gudang ilmu perlu siap siaga membekalkan mahasiswa dengan kemahiran dan pengetahuan yang diperlukan. Untuk itu, KPT diperuntukkan RM16.3 bilion, satu penambahan dari tahun lalu.
Aduan yang acap kali saya terima dalam Siri Temu Anwar bersama mahasiswa ialah masalah capaian internet. Ini harus ditangani segera. Kita menyediakan RM250 juta untuk mengganti dan meluaskan capaian WiFi di semua universiti awam. Ini termasuk RM5 juta untuk melaksanakan projek pendigital hospital pengajar universiti.
[Tepuk] Dan juga keselamatan di IPT. RM300 juta disediakan untuk menyelenggara dan membaiki prasarana IPT, menggantikan peralatan lama dan usang. RM50 juta untuk empat universiti teknikal Malaysia.
Komuniti rentan seperti OKU, Orang Asli, ibu tunggal, warga emas mengikut Program Pembelajaran Sepanjang Hayat di kolej komuniti. Untuk itu, dibantu dengan tambahan dana RM5 juta untuk manfaat 5,000 komuniti tumpuan.
Dato' Seri Anwar bin Ibrahim
Bagi meningkatkan tahap sosioekonomi, kerajaan menyediakan RM1 juta kepada setiap universiti awam untuk memperhebatkan pelaksanaan Pengupayaan Komuniti MADANI, Program Pemulihan Dalam Komuniti OKU.
Jadi, Malaysia perlu pantas menghadapi ledakan transformasi digital global.
Inovasi dan bakat digital perlu diperkasa, khususnya kecerdasan buatan (AI) bagi meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara yang lebih mampan. Bagi memperhebat penerokaan bidang AI rentas disiplin ilmu, sukacita saya mengumumkan, pusat pengajian kecerdasan buatan pertama negara iaitu Fakulti Kecerdasan Buatan (AI) di UTM dengan peruntukan awal RM20 juta.
[Tepuk] Kerajaan bersetuju untuk memberikan diskaun bayaran balik pinjaman PTPTN bermula 14 Oktober 2023 sehingga 31 Mac 2024. Pertama, diskaun 10 peratus atas baki hutang untuk penyelesaian penuh pinjaman. Diskaun 10 peratus untuk bayaran sekurang- kurangnya 50 peratus daripada baki hutang dalam sekali bayaran. Diskaun 15 peratus untuk bayaran secara potongan gaji atau debit terus berjadual.
Saya ingin tegaskan terkait kebajikan pelajar universiti. Saya tidak akan sama sekali mengizinkan, khususnya mahasiswa dari keluarga susah yang mendapat tempat di universiti awam, tidak boleh mana-mana universiti menghalang atau menafikan hak mana- mana pelajar untuk berdaftar di universiti.
[Tepuk] Sekiranya pelajar itu menghadapi masalah, universiti tetap wajib mendaftar dan memaklumkan kepada kementerian dan kerajaan.
[Tepuk] Bermula Januari 2024, yuran bagi tujuan pendaftaran masuk ke universiti awam dihadkan untuk tidak melebihi RM1,500.
[Tepuk] Ini supaya selari dengan nilai pemberian Wang Pendahuluan Pinjaman oleh PTPTN berjumlah RM1,500 kepada semua bakal pelajar baharu yang layak.
Pada masa yang sama, pelajar yang sedia ada yang tidak mampu membayar yuran pengajian tidak akan disekat bagi mendaftar subjek pada setiap semester dan bayaran boleh dilunaskan selepas pendaftaran subjek. Sebarang peraturan pembayaran oleh universiti hendaklah mengambil kira kebajikan pelajar.
Pada masa hadapan, Bahagian HEP universiti bersama PTPTN atau badan lain hendaklah berperanan memudah cara dan membantu mahasiswa dan bakal pelajar yang mempunyai masalah pembayaran.
Dato' Seri Anwar bin Ibrahim
Tan Sri Yang di-Pertua, Kertas Putih Kesihatan dihamparkan di Dewan pada Jun yang lalu. Beberapa tantangan utama digariskan. Mengintegrasi sektor kesihatan awam dan swasta. Empat tonggak dan strategi transformasi kesihatan telah diperkenalkan.
Kementerian Kesihatan diperuntukkan RM41.2 bilion, satu kenaikan besar...
[Tepuk] Peningkatan terbesar daripada kalangan semua kementerian. RM5.5 bilion untuk memperolehi bekalan ubat, bahan guna habis, reagen dan vaksin. Walaupun saya telah mengarahkan supaya procurement ubat itu harus diteliti supaya tidak ada ketirisan dan cari ubatan termasuk dari rantau dan tidak semuanya harus bergantung pada Eropah dan Amerika Syarikat.
Tahun hadapan, beberapa projek pembangunan baharu akan dilaksanakan.
Kompleks Hospital Pengajar Universiti Sains Islam Malaysia Fasa 1 di Kota Tinggi. Kerja awalan bagi pembinaan Hospital Sultanah Aminah 2, Johor baru. Blok Patologi Tambahan di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kelantan. Bangunan tambahan Jabatan Kecemasan dan Trauma di Hospital Sultan Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia, Serdang. Lima buah klinik kesihatan baharu antaranya di Rantau, Negeri Sembilan; Kuala Tahan, Jerantut; Kuala Jengal, Dungun; dan Pulau Mantanani, Kota Belud.
Kerajaan menyokong hasrat Sarawak untuk membangunkan sebuah institut kanser di Sarawak...
[Tepuk] Kerajaan bersetuju untuk Sarawak meneruskan dengan usul menyediakan atau membangunkan Institut Kanser Sarawak.
Sejumlah RM300 juta disediakan untuk membaik pulih 400 buah klinik uzur yang mempunyai struktur kayu dan pendawaian usang. RM766 juta untuk perolehan peralatan perubatan di hospital KKM. Tiga peratus klinik kesihatan negara yang dilengkapi rekod kesihatan digital dan ini harus diperbaiki dengan peruntukan RM150 juta. Clinic Management System.
Dato' Seri Anwar bin Ibrahim
Dan bagi melindungi rakyat supaya kekal afiat, perkhidmatan kesihatan hendaklah beralih daripada merawat pesakit kepada memperhebat aktiviti pencegahan penyakit dan Agenda Nasional Malaysia Sihat. Ini termasuk saringan sihat, saringan awal bayi baru lahir, membekal vaksin kepada ibu hamil.
Bagi usaha membendung risiko kesihatan, kita mengenakan duti eksais ke atas produk tembakau kunyah pada kadar lima peratus ditambah RM27 sekilogram, seperti mana duti eksais yang dikenakan ke atas tembakau snuff. Saya tidak faham bab tembakau ini.
Kadar duti eksais semasa bagi minuman bergula dinaikkan daripada 40 sen kepada 50 sen seliter. Ini minuman-minuman serba manis. Dan apa juga hasil ini tidak diambil oleh kerajaan. Dipulangkan untuk membangunkan pusat dialisis dan perubatan penyakit kencing manis...
[Tepuk] Skim Perubatan Madani diperluaskan dengan RM100 juta memanfaatkan 700 ribu orang rakyat. RM50 juta untuk kos peranti perubatan seperti stent untuk jantung.
Bagi mendukung usaha memartabat ekonomi komuniti, kerajaan ingin memperkenalkan Program Komuniti Madani. Ini penting. Ini kali pertama dalam negara, saya akan luluskan bagi setiap kampung, kita kata komuniti, desa, bandar, rumah panjang, kampung Orang Asli supaya masyarakat kampung sendiri memutuskan dengan dana di antara RM50,000 dan RM100,000 permulaan, apa yang mereka harus lakukan untuk menjana pertumbuhan ekonomi.
Apa-apa masalah prasarana, akan dikendali oleh Kerajaan Persekutuan, tetapi kita berikan ruang supaya bukan ketua kampung tetapi masyarakat dan jemaah sendiri memutuskan apa projek yang mereka hendak jana supaya ekonomi kampung ataupun komuniti dapat ditingkatkan. Perbelanjaan itu agak tinggi tetapi tentunya akan mengikut peringkat dan SOP yang tegas supaya tidak ada penyalahgunaan kuasa.
Maknanya, ini kali pertama kita memperkasa setiap komuniti kampung dan bandar, rumah panjang dan Orang Asli untuk memutuskan sendiri projek yang mereka hendak dukung dengan dana awal sehingga RM100,000.
RM1.63 bilion disediakan bagi membina dan menaik taraf jalan di kampung dan desa termasuk di Bachok; di Tambun Tulang, Perlis; dan Kuala Lukut ke Chuah, Port Dickson. Senarai penuh disertakan dalam Lampiran.
RM939 juta untuk bekalan air kepada 5,150 buah rumah dan bekalan elektrik RM134 juta bagi memasang 60,000 unit lampu jalan kampung. RM57 juta bagi 54 projek baharu naik taraf jambatan uzur. RM100 juta menaik taraf, membina dan membaik pulih kemudahan asas seperti dewan, balai raya, di bawah Projek Ameniti Sosial.
Kita berikrar air bersih harus diselesaikan. Ini terutamanya di Kelantan dan di Sabah. Dan beberapa peringkat, ada permasalahan di Wilayah Persekutuan sendiri dan Labuan. Sejumlah RM1.1 bilion disediakan bagi melaksanakan penyelesaian isu bekalan air untuk tahun hadapan.
Bagi negeri Kelantan, pembinaan Loji Rawatan Air Machang Fasa 1, paip simen asbestos diganti dengan bekalan air ekoran paip bocor. Mudah-mudahan dengan cara ini dapat meredakan sedikit tekanan. Bagi mengatasi isu bekalan air khususnya di Kota Kinabalu, tumpuan menggantikan infrastruktur dan peralatan, meningkatkan kapasiti loji rawatan air. Bagi Wilayah Persekutuan Labuan pula, bagi penggantian paip-paip yang usang.
Kerajaan bersetuju memperkenalkan Program Kampung Angkat Madani.
Melengkapkan kemudahan asas bagi kawasan desa yang sangat terpinggir. Dan semua Ketua Setiausaha dan Ketua Perkhidmatan harus menggembleng tenaga rentas kementerian serta bekerjasama dengan GLC dan GLIC daripada swasta untuk menjayakan program ini.
DNB telah berjaya membangunkan rangkaian 5G dengan liputan di kawasan berpenduduk 70.2 peratus. Akan mencapai, insya-Allah, 80 peratus di kawasan berpenduduk menjelang akhir tahun ini. Jadi, ditawarkan 5G yang ditawarkan oleh semua syarikat telekomunikasi pada tahap kualiti yang baik.
Dato' Seri Anwar bin Ibrahim
CyberSecurity akan membangunkan Rangka Kerja Pengujian Keselamatan Siber dengan kepakaran tempatan terhadap teknologi 5G bagi meningkatkan kesiapsiagaan.
RM60 juta diperuntukkan untuk tujuan tersebut.
Pengangkutan awam diberikan perhatian dan melancarkan aktiviti para pedagang yang menjana ekonomi setempat. Insya-Allah, Lebuhraya Pan Borneo Sarawak siap sepenuhnya tahun hadapan. Itu satu kemajuan yang membanggakan. Cuma, di Sabah, proses tender masih diteruskan dan Projek Borneo dengan jajaran 366 kilometer melibatkan RM15.7 bilion akan ditawarkan pada bulan November ini.
Projek Sarawak-Sabah Link Road melibatkan RM7.4 bilion dilaksanakan penghujung tahun ini juga.
Mengambil kira keperluan peningkatan kenderaan, PLUS daripada empat kepada enam lorong dilanjutkan dari Sedenak ke Simpang Renggam dengan kos RM931 juta.
Subsidi pengangkutan awam seperti bas, rel dan lain-lain disediakan bagi menjamin kesinambungan perkhidmatan. RM96 juta sokongan bas henti-henti yang perlu meneruskan bagi kawasan desa.
Dato' Seri Anwar bin Ibrahim
RM150 juta untuk Program Transformasi Bas Henti-henti, tiga lokasi baharu, di Kota Bharu, Kuantan dan Kota Setar. RM209 juta Ringgit, penduduk desa di pedalaman Sabah dan Sarawak. Perkhidmatan bas dan rel PRASARANA untuk ulang-alik mencari rezeki, manfaat pas bulanan My50 akan diteruskan. Begitu juga stesen LRT3 yang dibatalkan sebelum ini, Tropicana, Raja Muda, Temasya, Bukit Raja dan Bandar Botanik akan diteruskan. Pengekalan stesen ini dijangka melengkapi dan menambah baik jaringan pengangkutan.
Anggaran awal LRT Pulau Pinang ke Seberang Perai seperti yang dirancang kerajaan negeri RM10 bilion tapi ini akan mengikut kaedah kerjasama awam swasta.
Kerajaan telah menggerakkan pasukan khas di bawah KPKT untuk menyelesaikan isu projek perumahan swasta lewat, sakit dan terbengkalai. Setakat Ogos, 256 projek sakit atau lebih 28,000 unit rumah telah dipulihkan. Tahniah.
[Tepuk] Secara keseluruhan, RM2.47 bilion disediakan bagi projek perumahan rakyat 2024. Dan program-program akan diteruskan bagi memulihkan projek terbengkalai yang telah dikenal pasti. Termasuk projek baharu di Kluang dan PPR dijangka siap pada tahun depan. 5,100 penghuni baharu. 3,500 unit rumah dengan peruntukan RM358 juta. RM460 juta bantuan kepada 65,000 rakyat susah di desa untuk membina baharu atau membaik pulih rumah daif dan ini akan diteruskan. RM1 juta menyelenggara rumah berstrata kos rendah dan sederhana awam.
Skim Jaminan Kredit Perumahan RM10 bilion untuk SJKP. Ini akan memanfaatkan 40,000 peminjam. Projek Perumahan Generasi Baharu FELDA yang terbengkalai sejak 2014 melibatkan 1,840 unit di 10 tapak projek. Dimulakan di Pahang dan kerajaan negeri telah- satu-satu negeri yang ke depan membantu FELDA menyiapkan projek terbengkalai.
[Tepuk] . 100 peratus tahap konsisten dengan amalan antarabangsa itu sukar dicapai, terutama dalam membangunkan semula bangunan usang di bandar tetapi permulaan itu harus lebih sungguh-sungguh supaya dapat kita perbaiki. Tanah-tanah strategik harus dimanfaatkan untuk projek rakyat. Pembinaan rumah mampu milik golongan veteran, kepentingan bumiputera di Wilayah Persekutuan, selain ruang hijau. RM100 juta kepada Kampung Baru Cina bagi menyediakan kemudahan infrastruktur asas.
Sebagai langkah mengawal harga harta tanah, kerajaan bercadang mengenakan duti setem pada kadar rata empat peratus ke atas surat cara pindah milik harta tanah oleh individu bukan warganegara dan syarikat milik asing kecuali yang bermastautin tetap di Malaysia. Surat cara pindah milik harta tanah melibatkan benefisiari, melepaskan kepada benefisiari yang layak mengikut wasiat atau faraid.
Memperkukuh perpaduan tanggungjawab bersama. Kembara Kenali Borneo oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri telah mendapat sambutan yang penuh semangat yang luar biasa daripada rakyat Sabah dan Sarawak.
[Tepuk] Ini memberikan lonjakan tentang semangat perpaduan dan semangat cintakan negara.
Dato' Seri Anwar bin Ibrahim
Tuan Yang di-Pertua, mutakhir ini sempadan tanah air terancam dek cubaan ganggu-gugat anasir luar. Keselamatan negara diasak dengan isu agama, raja dan kaum, menjadi bahan hasutan. Benteng sempadan dan perairan negara perlu dipertahankan bagi menjamin keamanan. Keselamatan dalam negara perlu dipelihara bagi mengekalkan keharmonian.
Kementerian Pertahanan diperuntukkan RM19.7 bilion. Ini peningkatan daripada tahun sebelumnya kerana kurang keupayaan kita memperbaiki dan membeli keperluan pertahanan yang mendesak. Begitu juga Kementerian Dalam Negeri (KDN) diberi peruntukan RM19 bilion Ringgit. Satu penambahan RM500 juta ketimbang 2023. Kerajaan akan memulakan proses perolehan aset baharu, termasuk 12 helikopter baharu Tentera Udara Diraja Malaysia, perolehan aset utama Tentera Darat Malaysia, kereta perisai, high mobility light tactical vehicle, hovercraft integrated fast interceptor, kenderaan sokongan pelbagai jenis. Memasang pulih dua aset kapal selam selain meneruskan perolehan tiga buah Littoral Mission Ship Tentera Laut Diraja Malaysia. Menggantikan aset lama dengan tujuh buah pesawat kapal terbang twin engine, lima buah helikopter ringan PDRM.
Dasar perolehan telah dirubah. Tidak harus ada campur tangan luar selain daripada golongan profesional yang memberikan saranan untuk membeli perkakas ketenteraan dan polis. Bagi tahun depan, kerajaan akan menambah aset perairan, antaranya perolehan 45 unit bot pelbagai jenis Tentera Darat, sembilan buah kapal ronda generasi baharu, bot pemintas APMM. Tujuh pos imbangan, antaranya di Sarawak, di Pa’ Daleh, Sungai Desa Aji Kuning, Pulau Sebatik, Sabah dan ICQS di Nabawan. Sebuah agensi tunggal sempadan negara atau single border agency akan diperkenalkan dengan RM20 juta Ringgit disediakan.
Anggota beruniform dan para pesara akan terus dipelihara. RM400 juta disediakan untuk menyelenggara dan membaik pulih semua rumah keluarga angkatan tentera. RM20 juta Ringgit untuk disediakan untuk menaik taraf sistem pembetungan Kem Tentera Darat. Kerajaan akan terus menggiat inisiatif PROTEGE-RTW, penempatan latihan pekerjaan dan meluaskan skop kepada golongan veteran ATM. Bagi melindungi kebajikan dan pembangunan sosioekonomi veteran, setiap program kerajaan akan mempunyai kuota khusus untuk veteran seperti program keusahawanan, latihan, pekerjaan dan kemudahan pembiayaan.
Untuk syiar Islam dan JAKIM, kerajaan mengkhususkan RM1.9 bilion Ringgit.
Pendidikan ilmu Islam akan terus berkembang untuk dihayati dan dimaknai. Dua buah institusi pendidikan Islam akan dibina dengan kos RM220 juta iaitu Sekolah Menengah Integrasi Sains Tahfiz Bukit Jalil dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Jempol.
RM150 juta disediakan kepada JAKIM untuk menyelenggara dan menaik taraf, termasuk institusi pondok berdaftar dan sekolah tahfiz. Penganjuran majlis ilmu oleh tokoh-tokoh dan ilmuan Islam di seluruh negara, khususnya di Kompleks Seri Perdana akan diteruskan. Menghargai jasa dan peranan besar lebih 70 ribu guru takmir, guru KAFA, imam, bilal, siak, noja dan marbut di peringkat komuniti, kerajaan bersetuju untuk memberikan sumbangan khas ditambah menjadi RM700 yang akan disalurkan terus kepada mereka dengan jumlah RM50 juta.
[Tepuk] Sejak 2003, kerajaan ketika itu telah memberhentikan bantuan per kapita kepada sekolah agama rakyat atas alasan pendekatan pengajaran Islam yang tidak berada di landasan yang betul. Kerajaan Perpaduan memutuskan untuk mengembalikan semula geran bantuan sebanyak RM20,000 kepada semua sekolah agama rakyat yang berdaftar di bawah JAKIM.
[Tepuk] Dan sukan, saya sentuh sedikit tadi tapi kerana keutamaan yang diberikan sebagai gelanggang memupuk semangat perpaduan dan kegiatan bagi anak-anak muda.
Program sukan dan riadah untuk rakyat, antaranya Program Kemahiran Sukan Renang untuk kanak-kanak, OKU dan warga emas. Penganjuran aktiviti sukan dan riadah, Program Perkhemahan Keluarga oleh KBS. Kerajaan mencadangkan pelepasan cukai khusus untuk pembelian peralatan dan aktiviti sukan terhad sehingga RM1,000 Ringgit.
Kita meraikan kejayaan wira-wira tanah air yang telah mengharumkan nama Malaysia di pentas Sukan Asia Hangzhou dengan menggenggam 32 pingat.
[Tepuk] Dengan semangat itu, RM72 juta ditambah bagi memperkukuh ekosistem atlet.
[Tepuk] .
Dato' Seri Anwar bin Ibrahim
Saya pasti semua telah menyaksikan kisah inspirasi adik Aqil Naufal, pelajar Sekolah Kebangsaan Felda Lepar Utara 1 yang mempamerkan semangat kesukanan walau dalam kekurangan. Jadi, ini setelah mendapat bantuan daripada Persatuan Bola Sepak Orang Kudung Malaysia yang memperkasa ekosistem atlet. RM12 juta disediakan kepada Majlis Sukan Negara untuk maksud tersebut. RM50 juta untuk menyelenggarakan dan menaik taraf kemudahan belia dan sukan. Kerajaan akan turut menyediakan RM50 juta bagi menggalakkan penganjuran acara sukan berprestasi tinggi.
Tuan Yang di-Pertua, budaya bahasa dan kesusasteraan harus diperkasa.
Sastera dapat menghidupkan imaginasi pembaca dan semangat patriotik cintakan negara, inspirasi moral bagi bangsa. Maka oleh itu, memperkasa, meningkatkan mutu penguasaan bahasa sastera kebangsaan harus ditingkatkan dan kerajaan menyediakan RM50 juta tambahan kepada agensi yang berpotensi untuk mengetengahkan karya seni sastera negara, persembahan teater warisan, minat membaca karya agung terutama di kalangan belia. RM10 juta untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk mempergiatkan aktiviti kebudayaan Sabah dan Sarawak, bahasa kaum minoriti seperti etnik Siam harus diambil kira supaya mereka tidak rasa tersisih daripada arus perkembangan.
Bagi mendukung hasil kraf tangan tempatan, kerajaan memberi kelonggaran khas bagi perolehan sehingga RM200,000 untuk setiap pesanan kepada usahawan kraf tangan yang berdaftar dengan Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia. RM20 juta disediakan untuk memperkasa peranan Kawasan Rukun Tetangga. Kerajaan juga menyediakan RM20 juta untuk Geran Pertubuhan Madani untuk manfaat penduduk setempat. RM50 juta untuk bantuan kewangan kepada pengurusan rumah-rumah ibadat bukan Islam yang berdaftar bagi kerja membaik pulih dan menyelenggarakan.
Sebagai langkah menggalak penghasilan batik Malaysia yang berkualiti tinggi, kerajaan bersetuju untuk memberikan kemudahan kepada penjawat-penjawat awam mendapatkan perolehan batik dengan kadar yang lebih murah. Kerajaan bersetuju supaya liputan Skim Ex-Gratia Bencana Kerja ditambah baik dan had siling gaji dipertingkatkan daripada RM4,000 kepada RM6,000.
Akhir sekali, kerajaan sedang menyemak semula skim gaji dan elaun tetap penjawat awam yang kali terakhir dilaksanakan hanya pada tahun 2012. Jadi, 10 tahun tidak ada kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam dan oleh itu, satu kajian menyeluruh sedang dalam rangkaan. Dan sementara itu, ramai penjawat awam tidak lagi sabar dan saya faham kerana mereka telah menunggu lebih daripada satu dekad.
Oleh itu, kerajaan bersetuju untuk memberi bayaran Insentif Awal Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam sebanyak RM2,000 kepada semua penjawat awam.
[Tepuk] . Ini jumlah tertinggi dalam beberapa tahun yang lalu. Gred 56 ke bawah termasuk lantikan kontrak dan RM1,000 kepada semua jawatan utama sektor awam melibatkan semua polis, bomba, tentera, angkatan bersenjata seluruh anggota beruniform.
[Tepuk] RM1,000 turut dipanjangkan kepada semua pesara kerajaan, veteran berpencen, veteran tidak berpencen dan ini dibuat sekali gus pada akhir Februari untuk menghadapi bulan Ramadan dan Aidilfitri.
Kalau ini menjadi tekad kerajaan dan sementara kita sedang dalam kajian menyeluruh skim gaji pada upah progresif, sektor swasta terutama yang mencatat keuntungan yang lebih besar patut menggunakan peluang ini menambah kadar upah bagi pekerja di sektor swasta.
[Tepuk] Tan Sri, Ahli-ahli Yang Berhormat, terima kasih kerana memberikan sokongan dan muafakat dalam melahirkan rasa mual kita tentang keganasan Israel di Gaza. Tetapi perkembangan mutakhir lebih membimbangkan. Israel telah mengambil keputusan untuk mengepung seluruh kawasan utara Gaza dan cara tindakan ganas dan biadab ini tentu akan menjejaskan kehidupan mereka. Beberapa pemimpin dunia Islam mengambil inisiatif dan saya telah menghubungi beberapa orang pemimpin untuk menyatakan kita bersedia menyokong sama ada melalui OIC atau apa juga rencana lain untuk memberi tekanan supaya tekad kegilaan dan kezaliman ini dihentikan.
Dan kerana menerima masalah ini, saya dengan ini memutuskan, walaupun Menteri Luar menyebut semalam dana awal RM1 juta, saya tambah permulaan dana dari
Dato' Seri Anwar bin Ibrahim
kerajaan RM10 juta dan saya akan pastikan semua GLIC, GLC dan syarikat-syarikat swasta cuba mengumpulkan bersama rakyat dengan dana awal sekurang-kurangnya RM100 juta.
[Tepuk] . Sedari awal menjawat jawatan ini, saya sering berpesan kepada diri dan rakan sepasukan bahawa kita punyai tanggungjawab dan bukan keistimewaan. Taklif wa la tashrif. Negara harus dikembalikan ke landasan yang betul bagi keamanan dan kesejahteraan rakyat.
Dan saya sentiasa diingatkan tentang kisah menarik perlunya perubahan tetapi perlunya hikmah. Kisah menarik antara Khalifah Umar Abdul Aziz dan anakandanya Abdul Malik yang memberikan gambaran pentingnya kaedah berhemah dan berhati-hati dalam melakukan perubahan. Seraya nasihat Umar tatkala Abdul Malik menggesa ayahnya bertindak dengan lebih tegas dan pantas dan segera dengan menyebut, “Ayahanda, mengapa tidak dilaksanakan (perubahan yang lebih pantas)? Demi Allah, aku sedia seandainya kita berdua terkorban demi menegakkan kebenaran!” Khalifah Umar Abdul Aziz menjawab...
[Berucap dalam bahasa Arab] “Jangan gopoh wahai anak ku” dan memberi contoh bagaimana khamar (arak) dalam Quran disergah dua kali (marratain) tetapi hanya kali ketiga diharamkan. “Aku bimbang.” kata Umar. “Seandainya aku paksakan semua kebenaran ke atas manusia (sekaligus), mereka akan menolak keseluruhannya, (dan) ini bermakna akulah akan menjadi penyebab kerosakan lebih besar.” Penegasan ini dinukil oleh Imam al-Shatibi dalam kitab al-Muwafaqat yang menukil jawapan Khalifah Umar Abdul Aziz.
Jadi sementara kita ada iltizam kerajaan bagi memulih ekonomi dalam marcapada yang serba mencabar, kerajaan akan sentiasa mendengar pandangan dan kritikan dan menggunakan langkah yang hikmah supaya perjalanan ini lebih teratur.
Tuan Yang di-Pertua, saya mohon mencadangkan.
[Tepuk]
Tuan Yang di-Pertua
Siapa yang menyokong?
Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah - Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi
Tuan Yang di-Pertua, saya menyokong.
Tuan Yang di-Pertua
Yang Berhormat Menteri Kewangan, dipersilakan.
Sri Yang di-Pertua, saya mohon mencadangkan bahawa Usul di atas nama saya di dalam Aturan Urusan Mesyuarat hari ini yang berbunyi; “Bahawa Dewan ini, mengikut subseksyen 4(3) Akta Kumpulan Wang Pembangunan 1966 [Akta 406], membuat ketetapan iaitu suatu jumlah wang sebanyak tidak lebih dari sembilan puluh dua bilion ringgit
(RM92,000,000,000) dibelanjakan daripada Kumpulan Wang Pembangunan bagi tahun 2024, dan bagi tujuan dan butiran Perbelanjaan Pembangunan yang dinyatakan di bawah Maksud Pembangunan atau
(“P”) dalam senarai Anggaran Perbelanjaan Persekutuan 2024, yang dibentangkan sebagai Kertas Perintah 34 Tahun 2023, adalah diuntukkan di bawah Maksud-maksud yang berkenaan jumlah-jumlah yang bersetentangan dengan butiran-butiran itu di ruangan enam dan tujuh senarai tersebut”.
Bahasa lama ini patut dipinda, Tan Sri Yang di-Pertua. Terkemudian. Terima kasih Tan Sri Yang di-Pertua.
Tuan Yang di-Pertua
Ada sesiapa yang menyokong?
Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah - Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi
Tan Sri Yang di-Pertua, saya menyokong.
Tuan Yang di-Pertua
Ahli-ahli Yang Berhormat, mengikut peruntukan Peraturan Mesyuarat 66(3), perbahasan di atas usul-usul bagi bacaan kali yang kedua atas Rang Undang-undang Perbekalan 2024 dan Usul Anggaran Perbelanjaan Pembangunan tahun 2024 hendaklah ditangguhkan kepada suatu tarikh tidak kurang daripada dua hari setelah usul-usul tersebut dicadangkan dan disokong.
Dengan yang demikian, Mesyuarat hari ini ditangguhkan hingga jam 10 pagi hari Isnin, 16 Oktober 2023.
[Dewan ditangguhkan pada pukul 6.41 petang]