Katalog Hansard
[Tuan Yang di-Pertua mempengerusikan Mesyuarat]
Tuan Yang di-Pertua
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Kita mendoakan agar teman-teman kita dan rakyat seluruh Malaysia yang sedang menderita akibat banjir diselamatkan, insya-Allah. Saya jemput Yang Berhormat Batang Lupar, Tuan Mohamad Shafizan Haji Kepli.
Tuan Mohamad Shafizan Haji Kepli - Batang Lupar
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Saya juga menyatakan rasa salam takziah kepada mangsa-mangsa banjir yang berada di negeri-negeri yang dilanda banjir pada ketika ini.
1. Tuan Mohamad Shafizan Haji Kepli [Batang Lupar] minta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan menyatakan, rancangan kementerian untuk merancakkan aktiviti pertanian di kawasan IADA Batang Lupar serta, adakah pelaksanaan program SMART SBB di kawasan IADA Batang Lupar akan diteruskan serta manfaat yang diterima oleh peserta program ini.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan - Tuan Chan Foong Hin
Selamat pagi Yang Berhormat Batang Lupar dan Tuan Yang di-Pertua.
Untuk makluman Yang Berhormat Batang Lupar, program SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB) merupakan inisiatif baharu yang diperkenalkan oleh kerajaan melalui Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) pada tahun 2021 yang bertujuan untuk membantu meningkatkan pengeluaran hasil padi per hektar dan mengurangkan kebergantungan kepada beras import selain memastikan jaminan bekalan makanan negara.
Melalui program ini, para pemain industri telah diberi peluang untuk menerajui sub sektor padi dan beras di mana sumber modal pembiayaan swasta ini dimanfaatkan semaksimum mungkin bagi menjadikan industri ini lebih dinamik dan berdaya saing. Di Sarawak, program SMART SBB dilaksanakan di bawah seliaan Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Batang Lupar dengan kerjasama beberapa buah syarikat peneraju program SMART SBB. Antara syarikat peneraju yang terlibat ialah Advansia
(Sarawak) Sdn. Bhd. melibatkan kawasan seluas 60 hektar di L2 dan L3 Tanjung Bijat Sri Aman bagi musim utama tahun 2021 dan luar musim tahun 2022.
Program yang melibatkan seramai 245 orang peserta bagi kedua-dua musim tersebut telah berjaya meningkatkan pendapatan pesawah sehingga 50 peratus melalui penyediaan kemudahan infrastruktur dan mekanisasi ladang yang lengkap.
Selain itu, Syarikat Padi Beras Nasional Berhad (BERNAS) telah merancang untuk mengusahakan kawasan sawah padi seluas 1,200 hektar di sekitar kawasan Batang Lupar. Memandangkan ketiadaan kilang padi yang bersesuaian untuk menampung
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan - Tuan Chan Foong Hin
pengeluaran padi berskala besar di Sarawak, turut dicadangkan supaya Kilang Benih Padi Sah (SPPC) yang terletak di Kampung Stumbin, Sri Aman dinaik taraf sebagai pusat belian dan kilang padi komersial.
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, matlamat utama yang ingin dicapai melalui kolaborasi KPKM BERNAS ini adalah bagi menjamin pengoperasian SPPC Stumbin yang berkapasiti optimum semusim sebanyak 600 tan metrik kekal berdaya maju dan lestari, seterusnya menjadikan subsektor padi dan beras di negeri Sarawak lebih kompetitif dan berdaya saing di sepanjang rantaian industri.
Semoga usaha murni ini terus di perkasa dan mendapat sokongan semua pihak selari dengan matlamat kerajaan dalam menjamin sekuriti bekalan makanan sepanjang masa dan membela golongan pesawah. Sekian, terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua
Yang Berhormat Batang Lupar.
Tuan Mohamad Shafizan Haji Kepli - Batang Lupar
Terima kasih kepada Yang Berhormat Timbalan Menteri atas jawapan yang telah diberikan.
Untuk makluman, pada ketika ini industri padi dan beras di Sarawak hanya mampu memenuhi sebanyak 38 peratus kepada keperluan beras dan terpaksa mengimport selebihnya dari luar iaitu sebanyak 145,000 tan metrik. Jadi, soalan saya, apa inisiatif kementerian untuk meningkatkan penyertaan golongan muda dalam industri penanaman padi dan beras, serta status terkini operasi pusat pemprosesan padi di Bijat dan Stumbin serta sara diri untuk beras di negeri Sarawak. Terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua
Silakan Yang Berhormat Timbalan Menteri.
Tuan Chan Foong Hin
Terima kasih Yang Berhormat Batang Lupar.
Untuk makluman Yang Berhormat, dari segi produktiviti, memang Sarawak masih berada di tahap rendah iaitu sekitar 2.36 tan metrik per hektar berbanding purata nasional iaitu 3.77 tan metrik per hektar. Pengeluaran padi yang rendah menyumbang kepada pencapaian Kadar Sara Diri (SSR) beras di Sarawak.
Amalan kaedah penanaman secara tradisi, penggunaan varieti benih padi tempatan yang rendah hasilnya dan kaedah penanaman padi hanya satu musim setahun, kesemua faktor ini turut menyumbang kepada data tersebut. Untuk meningkatkan SSR atau produktiviti per yield ini akan melalui pengurusan sawah yang cekap, seperti yang diamalkan di SMART SBB di Batang Lupar. Program ini telah berjaya meningkatkan pendapatan pesawah sehingga 50 peratus.
Selain itu, penggunaan Varieti Padi MR269 turut menyumbang kepada hasil padi yang tinggi dan sasaran seterusnya ialah untuk menggalakkan penanaman padi sebanyak dua musim setahun berbanding dengan semusim yang diamalkan sebelum ini. Pada masa yang sama, kerajaan melalui DOS Sarawak juga sedang berusaha untuk membawa masuk varieti benih padi MR297 yang dapat meningkatkan pengeluaran hasil yang lebih tinggi dan lebih rentan terhadap penyakit dan makhluk perosak.
Tuan Chan Foong Hin
Untuk kilang benih padi sah, SPPC Stumbin yang dibina pada tahun 2012 sekarang telah siap sepenuhnya pada 28 Mei 2014 di atas tanah yang seluas empat hektar. Kilang SPPC ini berupaya untuk memproses benih padi pada kadar tiga tan metrik per jam. Thank you.
Tuan Yang di-Pertua
Tidak ada? Baik.
Tuan Wan Razali bin Wan Nor - Kuantan
Tuan Yang di-Pertua..
Tuan Yang di-Pertua
Sila.
Tuan Wan Razali bin Wan Nor - Kuantan
Saya tidak merujuk kepada soalan ini namun soalan berkaitan dengan 21 Februari, saya ada bangkitkan isu berkaitan dengan hujan dan juga banjir di Kampung Cherok Paloh dan Kampung Ubai. Jadi, saya dapat jawapan daripada kementerian berkaitan dengan pesawah yang terjejas akibat
Tuan Wan Razali bin Wan Nor - Kuantan
bencana banjir. Jadi, saya hendak tanya Yang Berhormat Menteri adakah – jawapan itu saya rasa tidak tepat. Jadi bagaimana?
Tuan Yang di-Pertua
Yang Berhormat Kuantan, ini bukan berkenaan specific question berkenaan dengan soalan Yang Berhormat Batang Lupar ini.
Tuan Wan Razali bin Wan Nor - Kuantan
Okey, ia macam ini Tuan Yang di- Pertua. Tuan Yang di-Pertua, pada 21 Februari saya ada bangkitkan isu berkaitan di Kampung Cherok Paloh dan Kampung Ubai, banjir di sana dan memohon bantuan berkaitan benih dan baja. Namun jawapan daripada Yang Berhormat Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan menceritakan kepada saya berkaitan dengan bantuan bencana tanaman padi. Hendak tanya kepada Yang Berhormat Menteri, adakah tanaman padi itu adalah sama dengan bantuan untuk pertanian? Itu sahaja.
Tuan Yang di-Pertua
Okey, Yang Berhormat Menteri. Ada dua opsyen; jawab ataupun jawab bertulis. Jawab, jawab.
Tuan Chan Foong Hin
Soalan ini tidak berkaitan dengan Yang Berhormat Batang Lupar dan KPKM akan memberikan jawapan secara bertulis atas pertanyaan Yang Berhormat Kuantan tadi itu.
Tuan Yang di-Pertua
Okey, terima kasih. Saya jemput Yang Berhormat Parit, Tuan Haji Muhammad Ismi bin Mat Taib, Parit. Silakan.
2. Tuan Haji Muhammad Ismi bin Mat Taib [Parit] minta Menteri Perladangan dan Komoditi menyatakan adakah kerajaan bercadang menaikkan kadar Insentif Pengeluaran Getah (IPG) daripada RM 2.50 kepada RM 4.50 pada waktu ini.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi - Datuk Siti Aminah binti Aching
Terima kasih, Tuan Yang di-Pertua. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera semua.
Terima kasih, Yang Berhormat Parit. Kerajaan sentiasa prihatin dengan kebajikan pekebun kecil getah yang mana pendapatan mereka akan terjejas apabila harga getah merosot. Seperti mana sedia maklum, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri semasa pembentangan Belanjawan 2023 pada 24 hari bulan yang lepas telah pun bersetuju menaikkan paras harga pengaktifan Insentif Pengeluaran Getah daripada RM2.50 kepada RM2.70 sekilogram dengan peruntukan berjumlah sebanyak RM350 juta.
Berhubungan dengan cadangan untuk meningkatkan harga lantai getah cup lump kepada RM4.50 sekilogram ini, ingin saya nyatakan di sini bahawa kementerian akan melaksanakan paras harga pengaktifan Insentif Pengeluaran Getah RM2.70 dahulu seperti mana yang diumumkan dalam Belanjawan 2023. Dalam masa yang sama, kementerian akan memperhalusi cadangan tersebut, namun ia adalah tertakluk kepada kemampuan kewangan kerajaan semasa. Terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua
Silakan, Yang Berhormat Parit.
Tuan Haji Muhammad Ismi bin Mat Taib - Parit
Soalan tambahan saya, terdapat dua masalah bagi pendapatan yang menyusut dalam kalangan pekebun- pekebun kecil. Pertamanya berkaitan dengan agihan IPG ini. Setakat manakah RRIMniaga yang diperkenalkan dapat memastikan agihan IPG ini sampai kepada pekebun-pekebun kecil?
Kedua, masalah penyakit pestalotiopsis yang melanda kebun-kebun getah di negara kita hari ini. Apakah langkah-langkah yang telah dilaksanakan dan apakah perkembangan penyakit pestalotiopsis yang melanda ladang-ladang getah di negara kita?
Terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua
Sila, Yang Berhormat Menteri.
Datuk Siti Aminah binti Aching
Terima kasih Yang Berhormat Parit. Mulai 1 Januari pada tahun 2021, pembayaran IPG oleh Lembaga Getah Malaysia telah dibuat secara terus ke akaun bank pekebun kecil dan mereka tidak perlu lagi membuat
Datuk Siti Aminah binti Aching
permohonan secara manual. Maksudnya, kita telah pun mempermudah cara pembayaran ini iaitu bagi memastikan pekebun kecil dapat menerima bantuan kerajaan.
Mereka wajib memiliki Permit Autoriti Transaksi Getah (PAT-G) iaitu merupakan permit jualan getah yang dikeluarkan secara percuma oleh LGM dan berfungsi sebagai pengenalan kepada pekebun kecil atau pekebun getah warganegara Malaysia yang memiliki atau mengusahakan kebun getah.
Dengan adanya PAT-G, ia bukan sahaja dapat mengekang kes kecurian getah malah dapat membantu mempermudah penyaluran bantuan kerajaan kepada pekebun kecil ini. Pekebun kecil yang memiliki PAT-G diwajibkan untuk menjual getah kepada peniaga getah berlesen LGM yang mengguna pakai aplikasi RRIMniaga. RRIMniaga juga merupakan satu aplikasi telefon pintar yang telah dibangunkan oleh LGM untuk digunakan oleh peniaga-peniaga getah berlesen LGM untuk merekodkan urus niaga jual getah yang berkuat kuasa dari 1 Januari 2022.
Jadi, semua pemegang lesen kategori peniaga getah dan berkelompok telah diwajibkan mengguna pakai aplikasi RRIMniaga di mana ia merupakan satu lesen yang perlu dipatuhi di bawah Peraturan-peraturan Lembaga Getah Malaysia (Pelesenan Dan Permit) 2014..
Menjawab soalan yang kedua pula Yang Berhormat, kementerian telah pun mengambil satu pendekatan untuk membantu peladang-peladang ataupun pekebun- pekebun getah ini dengan menyalurkan satu inisiatif dan kita akan membuat tiga kali semburan supaya kulat ataupun yang memusnahkan pokok-pokok ini dapat dimusnahkan dengan tiga kali semburan racun iaitu dalam RM8.79 juta di seluruh negara. Kita telah berikan kepada pekebun-pekebun kecil kita. Terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua
Baik, silakan.
Dato’ Sri Dr. Wee Jeck Seng - Tanjong Piai
Terima kasih, Tuan Yang di-Pertua.
Terima kasih, Yang Berhormat Timbalan Menteri. Yang Berhormat Timbalan Menteri mengatakan bahawa – saya memang mengalu-alukan bahawa dalam bajet ini RM2.70.
Perjuangan ini memang telah diadakan sekian lama, 20 sen ini masih tidak mencukupi sebab kos sara hidup kita sudah ditingkatkan. Kita tahu kalau pekebun kecil getah ini, ia melibatkan 400,000 lebih pekebun kecil dan kebanyakannya sudah senior.
Jadi, saya harapkan kerajaan bukan sahaja kata akan kaji tetapi berperingkat bagi komitmen. Hari ini RM2.70 tetapi bilakah boleh meningkat lagi supaya ia tidak back to square; RM2.50, RM2.70 masih lagi dalam kesengsaraan. Jadi, harap kerajaan mesti bagi komitmen apakah perancangan yang akan datang bukan sahaja RM2.70 tetapi RM3.00, RM3.50 supaya pekebun kecil ini dapat dijamin kebajikannya yang selama ini memang sengsara. Terima kasih.
Datuk Siti Aminah binti Aching
Terima kasih kepada Yang Berhormat yang bertanya. Kita sentiasa – saya katakan tadi bahawa kerajaan sentiasa prihatin dengan masalah yang dihadapi oleh pekebun-pekebun kecil kita dan kerana itulah kerajaan telah pun menaikkan daripada RM2.50 kepada RM2.70. Walaupun jumlah itu adalah kecil tetapi sebenarnya ia menyumbang satu jumlah yang besar di mana kita ataupun kerajaan akan mengeluarkan sebanyak RM350 juta kepada semua penerima itu nanti.
Seperti apa yang Yang Berhormat katakan tadi, memang betul ia belum lagi boleh membantu 100 peratus kepada kita punya pekebun-pekebun kecil tetapi insya-Allah kerajaan sentiasa memikirkan. Kementerian dengan kementerian-kementerian yang lain sentiasa membuat perbincangan untuk mencari bagaimanakah mekanisme yang akan dibuat untuk mencari cara supaya dapat menaikkan harga-harga ini dengan bergantung juga kepada peruntukan ataupun keupayaan kewangan kerajaan kita. Terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua
Baik, terima kasih. Saya jemput Yang Berhormat Selangau, Tuan Edwin anak Banta.
3. Tuan Edwin anak Banta [Selangau] minta Menteri Kerja Raya menyatakan perancangan kementerian untuk menyediakan kemudahan berupa tapak rehat dan rekreasi (R&R) di sepanjang Lebuh Raya Pan Borneo khususnya di antara Bandar Sibu dan Bintulu.
Timbalan Menteri Kerja Raya - Dato’ Sri Haji Abdul Rahman bin Mohamad
Bismillahi Rahmani Rahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih, Tuan Yang di-Pertua. Terima kasih, Yang Berhormat Selangau. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, di sepanjang jajaran projek Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak khususnya dari Sibu ke Bintulu, terdapat sebuah kawasan rehat dan rawat sedang dibina di Jelukong, Lubok Antu dan satu lay-by di Sungai Semanok, Bintulu.
Timbalan Menteri Kerja Raya - Dato’ Sri Haji Abdul Rahman bin Mohamad
Selain daripada kemudahan asas untuk pengguna jalan raya untuk berehat dan solat, usahawan tempatan boleh menjana pendapatan dengan mengusahakan kemudahan kedai makan dan pasar tamu di pusat rehat dan rawat kawasan tersebut.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Tuan Yang di-Pertua
Yang Berhormat Selangau.
Tuan Edwin anak Banta - Selangau
Terima kasih Yang Berhormat Menteri.
Soalan kedua saya ialah selain daripada penyediaan kemudahan berupa tapak rehat dan rekreasi, apakah ada komponen lain yang mungkin ada atau boleh disediakan dan adakah pihak yang akan menguruskan R&R ini akan memberi ruang kepada peniaga-peniaga kecil tempatan untuk menjual hasil-hasil pertanian seperti sayur-sayuran, buah-buahan atau kraf tangan? Terima kasih.
Dato’ Sri Haji Abdul Rahman bin Mohamad
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, kita sebenarnya menyediakan kawasan rehat dan rawat ini adalah untuk menyediakan beberapa kawasan medan selera, sepertimana diutarakan oleh Yang Berhormat, kita akan menyediakan lebih kurang lapan ruang gerai makanan dan kedai serbaneka, tempat duduk 144 orang boleh menggunakannya serta ruang untuk pasar tamu bagi 30 orang peniaga menjual hasil-hasil pertanian produk tersebut di kawasan lay-by yang saya menyatakan sebentar tadi, di mana disediakan juga kawasan solat.
Untuk makluman Yang Berhormat, satu kawasan R&R di Sungai Basai, Selangau dan juga satu lay-by di Lambir, Miri sedang dibina khusus untuk sepanjang jajaran dari Sibu sehinggalah ke Bintulu.
Setelah pembinaan keseluruhan tiga R&R ini, kita dapati penyelenggaraan fasiliti- fasiliti ini akan diselenggarakan oleh pihak berkuasa tempatan kerana ini kawasan lebuh raya yang tidak bertol. Kita serahkan kepada PBT. Saya berharap supaya Yang Berhormat dapat menerima jawapan ini dan saya percaya Yang Berhormat Bintulu pun dapat menerima jawapan ini. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
[Ketawa]
Tuan Yang di-Pertua
Terima kasih. Ya, Yang Berhormat Pasir Mas. Jangan jauh sangat lari ya. Masih di Sarawak.
Tuan Haji Ahmad Fadhli bin Shaari - Pasir Mas
Terima kasih kepada Tuan Yang di-Pertua. Masih lagi dalam fokus R&R, Tuan Yang di-Pertua, iaitu berkenaan dengan Lebuhraya CSR yang Timbalan Menteri pun berada dalam dari negeri Pahang.
Sepanjang Lebuhraya CSR ini masih belum lagi ada R&R. Jadi kalau mungkin Yang Berhormat Menteri boleh memberikan jaminan ataupun penjelasan. Bilakah R&R ini dapat dibina sepanjang CSR? Terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua
Sila, Yang Berhormat Timbalan Menteri.
Dato’ Sri Haji Abdul Rahman bin Mohamad
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Terima kasih Yang Berhormat. Sebenarnya CSR ini telah ditukarkan nama kepada Lingkaran Tengah Utama. Kita kena amalkan Lingkaran Tengah Utama. Semestinya kita akan membina R&R di sepanjang jalan Lingkaran Tengah Utama iaitu, salah satu, kita akan mula membina di Bentong setelah keluar sahaja daripada Lebuh Raya Pantai Timur.
Satu lagi di Lipis iaitu di Kampung Relong dan juga, kalau tidak silap saya ya— nanti kita
Dato’ Sri Haji Abdul Rahman bin Mohamad
akan perbetulkan jawapan dalam bertulis kepada Yang Berhormat. Salah satu lagi di Gua Musang akan dibina R&R.
Saya berpendapat bahawa antara tiga atau empat pusat rehat dan rawat sepanjang Lebuhraya Lingkaran Tengah Utama itu sudah pasti akan dapat digunakan oleh masyarakat Pantai Timur. Antaranya di kawasan-kawasan yang saya nyatakan tadi dan juga diserahkan kepada pihak PBT untuk penyelenggaraan dan juga untuk menentukan segala kemudahan-kemudahan yang kita laksanakan sepanjang kawasan Lebuhraya Lingkaran Tengah Utama itu. Terima kasih Yang Berhormat.
Tuan Yang di-Pertua
Terima kasih Yang Berhormat Menteri Timbalan Menteri.
Saya jemput Yang Berhormat Datuk Haji Idris bin Haji Ahmad dari Bagan Serai.
Datuk Haji Idris bin Haji Ahmad - Bagan Serai
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.
Tanam Pinang rapat-rapat, Soalan saya nombor empat.
4. Datuk Haji Idris bin Haji Ahmad [Bagan Serai] minta Menteri Kewangan menyatakan:-
(a) pelan kerajaan dalam menghadapi kegawatan ekonomi yang dijangka berlaku pada tahun ini; dan
(b) adakah kerajaan bersedia menyediakan insentif dan bantuan seperti subsidi upah, geran khas kepada PKS, pengeluaran KWSP dan bantuan-bantuan lain seperti mana yang telah dilaksanakan oleh kerajaan sebelum ini.
Timbalan Menteri Kewangan - Datuk Seri Haji Ahmad bin Haji Maslan
Tuan Yang di-Pertua, berdasarkan kepada prestasi pertumbuhan ekonomi pada tahun 2022, pada tahun ini kerajaan menjangkakan ekonomi Malaysia akan berkembang sekitar 4.5 peratus. Malah Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia turut mengunjurkan kadar pertumbuhan ekonomi Malaysia pada tahun 2023 sebagai 4.4 peratus dan 4 peratus. Jangkaan ini adalah selari dengan unjuran pertumbuhan ekonomi dan perdagangan global yang diunjurkan lebih perlahan pada tahun ini.
Berdasarkan statistik ini, meskipun berdepan dengan cabaran ketidaktentuan global, saya ingin menegaskan bahawa Malaysia, insya-Allah, tidak akan mengalami kegawatan ekonomi pada tahun 2023.
[Tepuk] Hal ini berdasarkan takrifan kegawatan atau kemelesetan ekonomi secara teknikal adalah apabila sesebuah negara mengalami penguncupan ekonomi iaitu pertumbuhan negatif suku tahunan sebanyak dua kali berturut-turut.
Kerajaan akan terus mengutamakan pertumbuhan ekonomi negara dan pembangunan yang saksama untuk rakyat serta menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang lebih menarik dengan memudah cara proses pelaburan, mewujudkan lebih banyak syarikat pemula berinovasi tinggi dan mencipta lebih banyak peluang pekerjaan dengan pendapatan yang setimpal.
Untuk tahun ini sahaja, kerajaan telah memperuntukkan sehingga RM64 bilion dalam bentuk subsidi, bantuan serta insentif. Contohnya, Sumbangan Tunai Rahmah membabitkan kos hampir RM8 bilion dijangka akan manfaatkan hampir sembilan juta rakyat Malaysia dengan nilai maksimum bantuan sehingga RM3,100. Di bawah agenda Payung Rahmah, kerajaan membantu mengurangkan beban kos sara hidup melalui program Menu Rahmah serta Jualan Rahmah yang menawarkan harga 30 peratus jauh lebih murah berbanding harga di pasaran.
Bagi sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), kerajaan turut menyediakan pelbagai geran, insentif, kemudahan pinjaman, jaminan pembiayaan dengan peruntukan hampir RM40 bilion tahun ini dalam usaha membantu kumpulan PMKS kembali bangkit dan berdaya saing setelah terkesan dengan COVID-19.
Timbalan Menteri Kewangan - Datuk Seri Haji Ahmad bin Haji Maslan
Kerajaan turut mengurangkan kadar cukai PMKS iaitu daripada 17 peratus kepada 15 peratus bagi RM150,000 pertama pendapatan bercukai. Golongan M40 juga dibantu melalui pengurangan dua mata peratusan bagi setiap banjaran pendapatan bercukai antara RM35,000 hingga RM100,000. Pengurangan ini dijangka dapat meningkatkan pendapatan boleh guna kumpulan M40 sehingga RM1,300 setahun.
Tuan Yang di-Pertua
Silakan.
Datuk Idris bin Ahmad - Bagan Serai
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Terima kasih Timbalan Menteri. Antara perkara yang membebankan suasana kegawatan ini ialah golongan B40 dan M40 apabila berlakunya kenaikan OPR dari semasa ke semasa.
Soalan saya ialah berdasarkan unjuran MOF, adakah akan berlaku kenaikan OPR selepas ini? Adakah langkah-langkah jangka pendek dan sederhana yang dilakukan oleh pihak kementerian di dalam menghadapi suasana ini? Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Tuan Yang di-Pertua
Terima kasih.
Datuk Seri Haji Ahmad bin Haji Maslan
Tuan Yang di-Pertua, OPR ini telah diturunkan sebelum ini ketika COVID-19 kepada 1.75. Antara punca penurunan OPR pada ketika COVID-19 ialah untuk membantu rakyat.
Kemudian OPR telah dinaikkan secara berperingkat. Sekarang ini nilainya ialah 2.75. Saya ingin memaklumkan bahawa daripada angka 2.75 itu, separuh daripadanya melibatkan mereka yang dikenakan faedah secara tetap dan separuh terlibat mereka yang dikenakan faedah yang terapung.
Yang menjadi masalah ialah mereka yang dikenakan faedah secara terapung ini.
Mereka ada bebanan terhadap kenaikan OPR itu. Saya telah menyebut tadi segala bantuan yang kerajaan berikan. Ada banyak lagi bantuan yang kerajaan berikan.
Akan tetapi, adakah OPR ini akan dinaikkan pada masa akan datang? Kita tunggu. Yang penting, dengan kenaikan OPR daripada 1.75 kepada 2.75 itu telah berjaya mengekang kadar inflasi. Dijangka kadar inflasi pada tahun ini ialah 3.3 peratus, lebih rendah daripada sebelum ini. Terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua
Terima kasih. Silakan Yang Berhormat Paya Besar.
Dato’ Indera Mohd Shahar bin Abdullah - Paya Besar
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, terima kasih Yang Berhormat Timbalan Menteri. Berkaitan OPR tadi, saya setuju Yang Berhormat Timbalan Menteri apabila OPR 2.75 yang mendapat manfaat ialah yang saving tetapi yang membuat pinjaman itu juga akan mendapat kesan.
Saya hendak tanya kepada Yang Berhormat, pertamanya bagaimana langkah kementerian kewangan untuk memastikan pasca COVID-19 ini, mereka yang akan diisytiharkan bankrap ini apa tindakan pihak Kementerian Kewangan. Oleh sebab ada agensi-agensi pemberi pinjaman tidak boleh berurusan dengan AKPK seperti CGC dan bagaimanakah tindakan Kementerian Kewangan? Itu yang pertama Tuan Yang di-Pertua.
Kedua, saya hendak tahu strategi Kementerian Kewangan apabila saya lihat buku Tinjauan Fiskal Ekonomi 2023 daripada segi sektor penawaran dan permintaan, kenapa kita eksport perkhidmatan hanya 4.9 peratus berbanding eksport barangan 38.1 peratus.
Yang Berhormat Timbalan Menteri, tahun 2013, kita mempunyai eksport perkhidmatan tinggi 7.4 peratus. Saya mencadangkan supaya Kementerian Kewangan, kita kena pertingkatkan eksport perkhidmatan kerana ini low-hanging fruit dan ia membawa hard cash, bring in money to Malaysia. Terima kasih, Tuan Yang di-Pertua.
Tuan Yang di-Pertua
Baik, sila Yang Berhormat Timbalan Menteri.
Datuk Seri Haji Ahmad bin Haji Maslan
Ya. Ini angka-angka yang mengenai muflis yang ditanyakan oleh Yang Berhormat Paya Besar tadi. Menurut maklumat Jabatan Insolvensi— saya kongsikanlah angka ini ya. Jumlah kes muflis bagi individu semakin menurun sejak tahun 2016 daripada 19,588 kes kepada 5,695 setakat Disember 2022.
Jumlah golongan belia individu berumur kurung 35 tahun juga menunjukkan trend
Datuk Seri Haji Ahmad bin Haji Maslan
penurunan mencakupi 13.5 peratus daripada jumlah kes muflis tahun 2022 berbanding tahun 2017 hingga 2021 sebanyak 22.5 peratus.
Terdapat pelbagai prosedur yang perlu dipatuhi oleh institusi kewangan bagi mengisytiharkan seseorang muflis dan tindakan kebankrapan adalah jalan terakhir. Akta Insolvensi akan dipinda tetapi sebelum pindaan Akta Insolvensi itu telah diumumkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Kewangan baru-baru ini bahawa semua kes kecil kurang daripada RM50,000, mereka akan dilepaskan serta-merta mulai 1 Mac 2023. Ini membantu begitu ramai yang terlibat.
Mengenai eksport perkhidmatan, saya setuju apa yang disebut oleh Yang Berhormat bahawa selain daripada eksport barangan, perkhidmatan perlu juga ditingkatkan. Antara contoh ialah bagaimana kita boleh membantu daripada segi firma profesionalisme yang kecanggihan kita, consultancy dan sebagainya untuk dieksport keluar negara bukan hanya kita mengeksport produk-produk daripada sektor pembuatan.
Terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua
Terima kasih Yang Berhormat Menteri. Saya jemput Yang Berhormat Puan Hajah Rodziah binti Ismail, Ampang.
5. Puan Hajah Rodziah binti Ismail [Ampang] minta Menteri Pendidikan menyatakan apakah usaha mengemas kini dan menambah baik garis panduan membina sekolah-sekolah baharu berdasarkan kriteria keperluan seperti saiz penduduk, jarak sekolah terdekat dengan kawasan kediaman, sistem pengangkutan dan keupayaan kewangan serta status SK dan SMK di Bukit Antarabangsa yang tertangguh meskipun telah diluluskan dalam RMKe-10.
Timbalan Menteri Pendidikan - Puan Lim Hui Ying
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, terima kasih Yang Berhormat Ampang. Kementerian Pendidikan Malaysia sentiasa berusaha secara berterusan dalam memastikan penyediaan kemudahan sekolah adalah mencukupi bagi keperluan masyarakat setempat. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, dalam usaha merancang pembinaan sekolah baharu, KPM mendapatkan input dan cadangan pembinaan sekolah melalui permohonan oleh Jabatan Pendidikan Negeri.
Seterusnya KPM melaksanakan analisis keperluan secara terperinci berdasarkan Garis Panduan Perancangan Kemudahan Masyarakat Bandar dan Desa Semenanjung Malaysia daripada PLANMalaysia, Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan
(KPKT) Tahun 2022.
Selain daripada kesediaan tapak atau tanah, perkara lain yang diambil kira adalah bilangan dan kapasiti sekolah sedia ada yang berhampiran, kepadatan penduduk di kawasan sekitar, liputan kawasan tadahan penduduk (catchment area) dengan izin, serta perancangan pembangunan kawasan tersebut berdasarkan perbincangan bersama-sama pihak berkuasa tempatan (PBT).
Untuk maklumat Ahli Yang Berhormat, pihak KPM sedang melaksanakan projek pembinaan baharu SK Ukay Sungai Sering di kawasan Bukit Antarabangsa yang melibatkan pembinaan 30 bilik darjah dan kemudahan lain yang berkaitan. Projek ini telah diluluskan dalam RMKe-10, namun tidak dapat dilaksanakan dan disambung semula dalam tempoh RMKe-11 dan RMKe-12 disebabkan oleh pertukaran tapak. Tapak asal projek ini berada di kawasan cerun berskala tiga yang memerlukan tambahan kos penahan cerun dan tidak sesuai untuk pembinaan sekolah.
Oleh yang demikian, pada tahun 2018, KPM telah mengenal pasti cadangan tapak baharu bagi pembinaan sekolah ini. Tapak baharu yang merupakan tanah serahan pemaju ini telah diluluskan permohonan pemberi milikan tapak kepada Pesuruhjaya Tanah Persekutuan (PTP) dan kini dalam proses untuk mendapatkan geran. Buat masa ini, status pembinaan projek ini masih berada di fasa pra pembinaan dan dalam peringkat akhir untuk melantik pihak perunding bagi menyediakan pelan reka bentuk bangunan dan menyelesaikan permohonan kebenaran merancang (KM) dan pelan bangunan (PB)
Timbalan Menteri Pendidikan - Puan Lim Hui Ying
dengan pihak berkuasa tempatan. Proses pelantikan perunding ini dijangka selesai pada bulan ini, Mac 2023.
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, KPM tidak ada perancangan untuk pembinaan sekolah menengah (SMK) baharu di kawasan Bukit Antarabangsa dalam RMKe-10. KPM mendapati bahawa sekolah menengah kebangsaan yang berdekatan masih mampu untuk menampung keperluan penduduk di kawasan tersebut. Walau bagaimanapun, KPM akan terus meneliti keperluan pembinaan sekolah menengah bagi menampung keperluan setempat dari semasa ke semasa. Sekian, terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua
Saya jemput Yang Berhormat Ampang.
Puan Hajah Rodziah binti Ismail - Ampang
Terima kasih Yang Berhormat Timbalan Menteri. Saya rasa ada beberapa perkara yang perlu kita lihat. Tentang sekolah tersebut, saya amat gembira apabila dengar ada status terkini. Akan tetapi saya ingin merujuk tentang apakah dasar ataupun garis panduan yang kita gunakan itu, pihak kerajaan rasa ia perlu di review semula.
Oleh sebab seseorang yang membeli salah satu perumahan ataupun property di sesuatu kawasan itu pasti mereka melihat tentang keperluan asas terutamanya pendidikan yang telah pun diwujudkan. Jadi, saya rasa mungkin manual, Garis Panduan JPBD@PLANMalaysia Edisi Ketiga yang telah diguna pakai itu perlu di review. Ini kerana banyak tempat sebenarnya tidak dapat menyediakan rumah ataupun menyediakan sekolah selama ataupun melebihi 15 tahun. Jadi, soalan saya berkaitan dengan perkara ini, apakah ada rancangan untuk review ataupun kemaskinikan semula garis panduan ini, pertama.
Kedua, sebagaimana yang mantan menteri sebelum ini sebut dan mengatakan bahawa sekolah itu akan dibina pada penghujung tahun ini, apakah ia tetap tarikh masanya, tidak berubah? Itu sahaja. Terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua
Terima kasih. Timbalan Menteri.
Puan Lim Hui Ying
Terima kasih Yang Berhormat. Betul, dari segi pembinaan sekolah memang ambil lebih daripada lima tahun sehingga mungkin 10 tahun untuk membina sebuah sekolah. Saya di sini akan memastikan kita akan merujuk semula, mengkaji semula proses pembinaan sekolah baharu.
Tentang pengumuman oleh mantan Menteri Pendidikan, untuk makluman Ahli Yang Berhormat, proses pelantikan perunding ini dijangka selesai pada bulan Mac seperti yang saya sebutkan tadi dan SST dijangkakan akan dikeluarkan selepas itu. Projek ini dijangka akan ditender pada Disember tahun ini dan memulakan kerja-kerja di tapak pada Februari 2024. Tempoh pembinaan projek ini akan mengambil masa 24 bulan dan dijangka akan siap sepenuhnya Februari 2026. Terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua
Terima kasih. Silakan. Jangan lari jauh sangat dari....
[Tidak jelas]
Dr. Haji Abd Ghani bin Ahmad - Jerlun
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Saya ingin merujuk tentang garis panduan pembinaan sekolah-sekolah di seluruh Malaysia berkait tentang infrastruktur. Kalau kita lihat dari segi sasaran kerajaan untuk mewujudkan Pelan Pembangunan Pendidikan 2020-2025 untuk mentakrifkan semula infrastruktur sekolah bagi memenuhi kehendak masa hadapan.
Jadi isu yang ingin saya bangkitkan, adakah pentakrifan infrastruktur itu telah pun dimulakan untuk mendepani pembelajaran abad 21 sekarang ini. Setakat manakah kemajuan yang telah dilakukan? Berapa buah sekolahkah yang telah dibina menepati atau pun melepasi tahap infrastruktur tersebut? Sekian.
Tuan Yang di-Pertua
Sila, Yang Berhormat Menteri.
Puan Lim Hui Ying
Terima kasih Yang Berhormat. Berkenaan dengan garis panduan pembinaan daripada segi infrastruktur dan selainnya. Pada masa ini, kami belum lagi memerlukan pengkajian tetapi kami akan mengkaji semula seperti saya sebutkan tadi
Puan Lim Hui Ying
kita hendak kurangkan singkatkan masa untuk memastikan ada keperluan dan memastikan bila masa untuk pembinaan sebab satu masalah yang kita mesti pastikan ialah penyerahan tanah. Tanah itu mestilah di bawah PBT.
Jadi, pemilikan tanah itu merupakan satu unsur yang utama sebelum pembinaan sebuah sekolah. Jadi, kami akan kemas kini dan kami akan merujuk semula semua garis panduan.
Terima kasih. Yang lain itu tentang data itu kami akan menjawab secara lisan.
Terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua
Baik, terima kasih. Saya jemput Yang Berhormat Dr. Hajah Halimah binti Ali, Kapar.
Dr. Hajah Halimah Ali - Kapar
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Bandar Sultan Sulaiman Port Swettenham; Soalan Kapar nombor enam.
6. Dr. Hajah Halimah Ali [Kapar] minta Menteri Kerja Raya menyatakan, polisi dan tindakan kerajaan mengenai kekerapan penyelenggaraan dan isu keselamatan pengguna jalan raya termasuk lampu jalan yang tidak berfungsi di jalan, laluan utama yang dilalui kenderaan berat seperti di Pelabuhan Klang Utara.
Timbalan Menteri Kerja Raya - Dato’ Sri Haji Abdul Rahman bin Mohamad
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Terima kasih Yang Berhormat Kapar.
Untuk makluman Yang Berhormat, Kementerian Kerja Raya bersama pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) sentiasa memandang serius terhadap aduan-aduan kerosakan jalan dan lampu jalan yang berlaku di persekutuan jalan. Jalan yang rosak dikenal pasti oleh pihak syarikat konsesi penyelenggaraan jalan persekutuan yang dilantik oleh pihak JKR akan menyediakan anggaran penyelenggaraan jalan. Berdasarkan kerosakan jalan begitu juga aduan kerosakan lampu jalan akan disemak oleh anggaran penyelenggaraan lampu jalan akan disediakan oleh cawangan kejuruteraan elektrik JKR negeri berkenaan.
Walau bagaimanapun, kelulusan kerja tertakluk kepada peruntukkan yang diluluskan oleh Kementerian Kewangan serta senarai keutamaan kerja yang disediakan oleh Jabatan Kerja Raya berdasarkan penilaian tahap kritikal kerosakan jalan dan lampu jalan bagi keseluruhan jaringan jalan persekutuan di bawah seliaan kementerian ini.
Untuk makluman Yang Berhormat, bagi Parlimen Kapar Jalan Persekutuan yang terlibat iaitu laluan FT05 Jalan Klang Sabak Bernam, FT20 Jalan Pintas Selat Klang Utara
(Persiaran Sultan Hishamuddin) dan FT3217 Jalan Perindustrian Meru sepanjang 51.87 kilometer yang disenggarakan oleh syarikat konsesi penyelenggaraan Jalan Persekutuan.
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, pada tahun 2021 hingga 2022, kementerian ini telah memperuntukkan sebanyak 21.13 juta di bawah Program Penyelenggaraan Rutin, Penyelenggaraan Berkala Pavement dan Berkala Bukan Pavement yang dilaksanakan oleh syarikat konsesi melalui arahan kerja dan di laluan- laluan yang dimaklumkan di atas. Kerja-kerja penyelenggaraan tersebut melibatkan 21 bilangan Kerja Berkala Pavement dan empat bilangan Kerja Bukan Pavement termasuk juga kelulusan peruntukkan penyelenggaraan lampu jalan sebanyak RM180,000 yang melibatkan dua kerja sebut harga. Kesemua kerja telah disiapkan sepenuhnya.
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat juga, pihak syarikat konsesi yang dilantik bertanggungjawab melaksanakan kerja penyelenggaraan rutin iaitu skop kerja penyelenggaraan pavement, penyelenggaraan bahu jalan, potong rumput, perabot jalan, mencuci jambatan dan pembetung, mencuci serta pemeriksaan rutin. Syarikat konsesi juga bertanggungjawab melaksanakan kerja penyelenggaraan berkala pavement dan bukan pavement yang dilaksanakan secara arahan kerja berdasarkan peruntukkan yang diluluskan oleh Kementerian Kewangan.
Pihak syarikat turut dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan kerja-kerja kecemasan dengan membuat tindakan segera jika berlaku kejadian di luar jangka.
Sebagai contoh, kerja membersihkan jalan kejadian tanah runtuh, menyediakan pelan
Timbalan Menteri Kerja Raya - Dato’ Sri Haji Abdul Rahman bin Mohamad
pengurusan trafik dan menyediakan laluan sementara bagi membolehkan jalan dijalani oleh kenderaan.
Untuk makluman Yang Berhormat, Kementerian Kerja Raya melalui Jabatan Kerja Raya sentiasa komited dalam memastikan jalan sentiasa dalam keadaan yang selamat dan selesa dengan menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan rutin sepanjang tahun. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Tuan Yang di-Pertua
Terima kasih. Yang Berhormat Kapar.
Dr. Hajah Halimah Ali - Kapar
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Terima kasih Yang Berhormat Timbalan Menteri. Dalam soalan saya itu ada disebut seperti di Pelabuhan Klang Utara sebab itu di dalam Kapar. Tuan Yang di-Pertua, mantan Menteri Pengangkutan pada 27 Jun telah menyatakan, “Two of Malaysia’s ports were rated as being among busiest in the world last year, despite a slump due to the global COVID-19 pandemic”.
Pertama, pelabuhan Klang iaitu yang saya sebut dalam Kapar ini. Kedua, Tanjong Pelepas. Jadi, sebab dia melibatkan banyak lori yang ada kontena, kenderaan berat dan sudah berlaku di mana kalau rosaknya sebahagian dari jalan maknanya semuanya akan kesesakan lalu lintas dan berlaku berjam-jam yang hendak sampai ke kilang, hendak sampai ke port, hendak sampai ke sekolah guru-guru dan sebagainya.
Pelabuhan Klang ini menyumbang kepada KDNK negara sebab dia twelfth in the world, of course lah in the Malaysia kan ia the biggest. Jadi, soalan saya kepada Yang Berhormat Menteri, berapakah sebenarnya kos yang telah pun diperuntukkan untuk penyelenggaraan ini di tempat industrial part ini dan sebenarnya berapa yang perlu?
Jadi, oleh sebab tadi Yang Berhormat Timbalan Menteri kata kalau ada kelulusan daripada Kementerian Kewangan dan sebagainya. Jadi, berapa yang perlu? Berapa yang dapat? Jadi, mungkin itu yang di antaranya defisit itu yang menyebabkan rosaknya sehingga menyebabkan business terjejas dan juga kemalangan yang menyebabkan kematian. Terima kasih Yang Berhormat Timbalan Menteri.
Tuan Yang di-Pertua
Terima kasih.
Dato’ Sri Haji Abdul Rahman bin Mohamad
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Terima kasih Yang Berhormat Kapar. Sebagaimana yang saya nyatakan sebentar tadi bahawa pada tahun 2023 sahaja di kawasan yang dinyatakan oleh Yang Berhormat iaitu di Northport kenderaan yang begitu berat keluar, masuk. Kita amat mengetahui dan sudah pastilah kami cuba sedaya upaya untuk memastikan peruntukkan itu dapat kita laksanakan. Sememangnya kita tahu peruntukkan itu memerlukan agak besar di kawasan Northport ini. Setakat hari ini, kita telah menyediakan peruntukan sebanyak RM16 juta bagi kerja-kerja iaitu 13 bilangan berkala pavement dan 9 - bilangan kerja berkala bukan pavement iaitu bernilai 4.54 juta.
Oleh itu, kita akan membuat melalui arahan kerja yang kita akan keluarkan sementara dan selebihnya kita bersetuju dengan Yang Berhormat agar kita dapat lebihan lagi permohonan dan insya-Allah kita akan buat lebih daripada itu sekiranya apa yang lebih kita terima daripada apa yang kita nyatakan. Terima kasih Yang Berhormat Kapar.
Tuan Yang di-Pertua
Terima kasih Yang Berhormat Menteri. Baik, saya difahamkan nombor 7, Yang Berhormat Pasir Gudang tidak berada di dalam Dewan.
Jadi, saya bergerak kepada nombor 8, Yang Berhormat Tuan Haji Mohd Hasnizan bin Harun, Hulu Selangor.
[Soalan No.7 - YB. Tuan Hassan bin Abdul Karim (Pasir Gudang)]
Tuan Yang di-Pertua
tidak hadir]
8. Tuan Haji Mohd Hasnizan bin Harun [Hulu Selangor] minta Menteri Pendidikan menyatakan, langkah-langkah kementerian bagi menangani masalah limpahan pelajar OKU di sekolah-sekolah selaras dengan Dasar Sifar Penolakan (Zero Reject Policy) yang telah dilaksanakan.
Timbalan Menteri Pendidikan - Puan Lim Hui Ying
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Zero Reject Policy merujuk kepada penempatan persekolahan Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK) di sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan tanpa menafikan hak mereka untuk menerima pendidikan di sekolah bawah Kementerian Pendidikan Malaysia. Berdasarkan Akta Pendidikan 1996 [Akta 550], semua murid termasuk MBPK berhak untuk menerima pendidikan yang relevan dengan keupayaan mereka.
Sehubungan dengan ini, KPM telah mengambil langkah-langkah berikut bagi menangani peningkatan bilangan MBPK pada setiap tahun. Menambah bilangan sekolah yang mempunyai Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI). Pada tahun 2018, bilangan PPKI adalah sebanyak 2,343 buah dan telah meningkat kepada 2,632 buah pada tahun 2022. Menerima MBPK lebih daripada kapasiti sekolah di Sekolah Pendidikan Khas (SPK) dengan menggunakan bilik-bilik khas sebagai bilik Pengajaran dan Pembelajaran (PdP).
Bilangan MBPK di SPK pada tahun 2018 adalah sebanyak 2,530 orang dan telah meningkat kepada 2,710 orang pada tahun 2022.
Timbalan Menteri Pendidikan - Puan Lim Hui Ying
Menyalurkan peruntukan bagi penyediaan kemudahan mesra OKU dan lain-lain penyelenggaraan di Program Pendidikan Khas Integrasi. Pada tahun 2018, peruntukan yang diterima untuk pendidikan khas adalah berjumlah RM2.3 juta. Pada tahun 2019, peruntukan telah meningkat kepada RM34.07 juta dan pada tahun 2020, sebanyak RM39.61 juta. Seterusnya pada tahun 2021, peruntukan adalah sebanyak RM33.5 juta dan pada tahun 2022, sebanyak RM28.2 juta telah diterima. Peruntukan tersebut telah disalurkan bagi memastikan kemudahan fasiliti dapat diselenggarakan dan seterusnya dimanfaatkan oleh MBPK dengan baik. Sekian, terima kasih.
Tuan Haji Mohd Hasnizan bin Harun - Hulu Selangor
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Jawapan tadi jelas menunjukkan bahawa setiap tahun akan ada peningkatan pelajar-pelajar ini dan sememangnya kita tidak boleh menafikan hak mereka untuk belajar.
Cuma soalan saya, apakah kementerian melihat kepada permasalahan yang berlaku di sekolah? Saya bagi contoh Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Mashor di Batang Kali, Hulu Selangor yang mana peningkatan pelajar tersebut sehinggakan tidak mencukupi untuk kelas untuk mereka belajar, begitu juga dengan guru. Saya mohon untuk kementerian mengambil pandangan ini supaya diambil secara serius. Terima kasih.
Puan Lim Hui Ying
Terima kasih Yang Berhormat. KPM sentiasa prihatin dan berusaha untuk meningkatkan akses dan kualiti pendidikan murid berkeperluan pendidikan khas.
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, pada tahun 2020, KPM telah diperuntukkan sebanyak RM45.12 juta yang memberi manfaat kepada 597 buah sekolah.
Pada tahun 2021, KPM telah menerima peruntukan khas sebanyak RM45 juta bagi membiayai keperluan MBPK bawah Agenda Memperkasa Pendidikan Khas. Seterusnya pada tahun 2022, sebanyak RM50 juta diperuntukkan kepada KPM digunakan untuk membiayai pembelian peralatan mengajar dan sebanyak RM29.93 juta telah digunakan untuk menambah baik fasiliti sekolah yang melaksanakan pendidikan khas.
Di sini saya hendak tegaskan, kita dalam proses meningkat baik tentang semua peralatan. Manakala bagi guru, kita juga sentiasa melaksanakan pengambilan guru pada setiap tahun bagi meningkatkan jumlah guru pendidikan khas. Sehingga 28 Februari 2023, terdapat seramai 18,020 orang Guru Pendidikan Khas mengajar di sekolah pendidikan khas dan Program Pendidikan Khas Integrasi berbanding dengan 15,704 orang guru pada tahun 2019. Bagi sekolah Yang Berhormat, nanti saya kena dapatkan data yang lebih terperinci tentang sekolah tersebut.
Tuan Haji Mohd Hasnizan bin Harun - Hulu Selangor
Terima kasih. Itu jawapan saya hendak sebenarnya sebab ia melibatkan bangunan. Terima kasih.
Puan Vivian Wong Shir Yee - Sandakan
Soalan tambahan Tuan Yang di- Pertua, Sandakan.
Tuan Yang di-Pertua
Silakan Yang Berhormat Sandakan.
Puan Vivian Wong Shir Yee - Sandakan
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Terima kasih juga jawapan daripada Yang Berhormat Timbalan Menteri.
Soalan tambahan saya adalah apakah bantuan khidmat sokongan yang disediakan oleh KPM bagi melestarikan pendidikan untuk Murid-murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK)? Terima kasih.
Puan Lim Hui Ying
Terima kasih Yang Berhormat dari Sandakan. Antara bantuan dan khidmat sokongan yang disediakan oleh KPM kepada golongan ini adalah:
(i) Elaun Murid Berkeperluan Khas sebanyak RM150 setiap bulan untuk MBPK yang mempunyai kad OKU yang dikeluarkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat;
(ii) bayaran makanan asrama dikecualikan bagi MBPK yang tinggal di asrama;
(iii) kemudahan untuk melanjutkan tempoh belajar maksimum kepada dua tahun;
(iv) tambahan tempoh satu tahun jika MBPK mengikuti pendidikan vokasional di SMPKV;
(v) tambahan masa semasa menduduki peperiksaan awam bagi MBPK yang dikenali sebagai Calon Berkeperluan Khas (CBK); dan
(vi) menyediakan Pembantu Pengurusan Murid (PPM) di semua SPK dan PPKI.
Berkaitan perkhidmatan sokongan, KPM mempunyai 13 Pusat Perkhidmatan Pendidikan Khas (3PK) di seluruh Malaysia. 3PK ini menawarkan empat perkhidmatan utama iaitu:
(i) saringan;
(ii) intervensi;
(iii) rehabilitasi; dan
(iv) sesi konsultasi.
Pegawai-pegawai di 3PK merupakan pegawai yang terlatih dan berkelayakan untuk melaksanakan penilaian, intervensi dan perundingan bagi MBPK. Pegawai bidang khusus yang bertugas di 3PK adalah dalam pelbagai bidang iaitu:
(i) audiologist;
(ii) therapist pertuturan dan bahasa;
(iii) therapist cara kerja;
(iv) psychologist klinikal;
(v) psychologist pendidikan;
(vi) physiotherapist; dan
(vii) pegawai intervensi.
Terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua
Terima kasih. Saya difahamkan Yang Berhormat Tenom tidak berada dalam Dewan.
Saya bergerak ke nombor 10, Yang Berhormat Tuan Haji Mohd Misbahul Munir bin Masduki, Parit Buntar.
[Soalan No. 9 – YB. Tuan Riduan bin Rubin (Tenom) tidak hadir]
Tuan Haji Mohd Misbahul Munir bin Masduki - Parit Buntar
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera.
Bawah selimut ada musuh; Soalan saya nombor sepuluh.
10. Tuan Haji Mohd Misbahul Munir bin Masduki [Parit Buntar] minta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan menyatakan, status penggunaan pukat bubu naga adakah dibenarkan digunakan oleh nelayan.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan - Tuan Chan Foong Hin
Terima kasih Yang Berhormat Parit Buntar. Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sentiasa mengambil berat akan kelangsungan ekosistem perikanan negara termasuk memelihara kemapanan sumber laut dan kepentingan masyarakat nelayan secara keseluruhannya.
Bubu naga ini merupakan alat penangkap ikan yang berbentuk panjang yang macam ini...
[Menunjukkan gambar berkaitan] Inilah bubu naga berbentuk panjang dan menyerupai ini ular atau naga dengan pintu selang seli di hujungnya sehingga 20 pintu masuk bagi sebuah bubu dan terdapat kerucut atau keroncong dengan panjang satu meter sebagai tempat terkumpulnya ikan atau udang yang tertangkap. Bubu naga ini merupakan peralatan yang statik dan bersifat tidak selektif yang mana turut menangkap anak-anak ikan.
Sehubungan dengan itu, KPKM telah menetapkan syarat pelesenan dengan spesifikasi yang menghalang penggunaan bubu naga atau sebarang bubu yang mempunyai lebih daripada dua- injap seunit, berkuat kuasa 1 November 2018.
Penggunaan bubu naga juga merupakan satu kesalahan di bawah seksyen 11(3) Akta Perikanan 1985 iaitu kesalahan menggunakan peralatan menangkap ikan tanpa lesen.
Penggunaan bubu naga bukan sahaja menjejaskan ekosistem serta sumber hasil laut memandangkan ia turut menangkap anak-anak ikan, malah ia turut menjejaskan pendapatan nelayan tradisi yang berlesen khususnya nelayan pukat hanyut. Bagi memastikan peralatan tangkapan yang digunakan tidak menjejaskan ekosistem perikanan, pihak kementerian dalam perancangan untuk memasukkan bubu naga sebagai peralatan larangan dalam Peraturan-peraturan Perikanan (Larangan Cara Menangkap Ikan) 1980.
Berdasarkan statistik kes dari tahun 2018 sehingga tahun 2022, sebanyak 1,495 kes tangkapan bubu naga direkodkan dengan trend yang menurun oleh agensi penguat kuasa iaitu Jabatan Perikanan Malaysia (DOF), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia
(APMM) dan Pasukan Polis Marin (PPM). Sekian, terima kasih.
Tuan Haji Mohd Misbahul Munir bin Masduki - Parit Buntar
Terima kasih Yang Berhormat Timbalan Menteri, terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Soalan tambahan saya, sejauh mana penguatkuasaan terhadap larangan bubu naga kerana ia masih lagi berleluasa digunakan oleh nelayan-nelayan? Apabila ditangkap, diambil tindakan oleh maritim dan juga pihak marin, tetapi persoalannya maritim hanya berkuasa di laut kalau digunakan, tetapi bubu naga dijual di daratan. Jadi, apakah langkah-langkah kerajaan untuk memastikan supaya bubu naga tidak dijual dan diambil tindakan oleh pihak tertentu sebab ia dijual berleluasa di daratan? Maritim tidak ada kuasa, marin tidak ada kuasa. Terima kasih.
Tuan Chan Foong Hin
Untuk menjawab soalan ini, yang pertama, untuk jumlah kes tangkapan bubu naga ini oleh Jabatan Perikanan Malaysia, kalau kita tengok dari tahun ke setahun, tahun 2018 sebanyak 183 kes dan sampai tahun lalu 2022, cuma 57 kes. So, kes yang direkodkan memang menunjukkan trend yang menurun.
Tuan Chan Foong Hin
So, di antara yang cara-cara kita ambil untuk menyebarkan maklumat bahawa untuk meningkatkan kesedaran daripada para nelayan kerana kita lihat isu ini kita mengambil satu pendekatan secara soft landing.
Tuan Chan Foong Hin
So, sampai sekarang dalam hal bubu naga, cuma yang menangkap ikan yang tanpa dilesenkan. Ia masih belum diambil kepada secara larangan. Kerana apa? Ini adalah kerana kalau kita masih yang tidak dilesenkan, kalau ditangkap, ia cuma bubu naga itu dirampas dan dengan kompaun RM500. Kalau dimasukkan sebagai peralatan larangan, dendanya boleh sampai RM20,000 dan boleh masuk dua tahun penjara.
Kementerian mengambil masa untuk melibat uruskan dengan pelbagai pihak supaya para nelayan dapat memahami kepentingan untuk menjaga ekosistem perikanan. Terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua
Baik, terima kasih.
Puan Wong Shu Qi - Kluang
Kluang.
Tuan Yang di-Pertua
Silakan.
Puan Wong Shu Qi - Kluang
Terima kasih, Tuan Yang di-Pertua. Soalan tambahan saya kepada Yang Berhormat Timbalan Menteri. Ini adalah kerana memandangkan ramai di luar sana sebenarnya tidak faham berkenaan kesan negatif yang dibawa oleh bubu naga ini kepada ekosistem setempat. Jadi, selain daripada ada taklimat kepada nelayan, apa langkah lagi yang boleh ambil ataupun sudah dilaksanakan atau akan dilaksanakan oleh kementerian supaya bukan sahaja nelayan tetapi orang awam semua faham kesan buruk, negatif yang dibawa oleh bubu naga kepada alam sekitar kita dan orang awam juga akan maklumkan kepada penguat kuasa supaya peralatan ini tidak akan digunakan lagi. Terima kasih.
Tuan Chan Foong Hin
Terima kasih, Yang Berhormat Kluang. Itulah sebabnya saya tadi menunjukkan gambar rajah ini.
[Sambil menunjukkan sehelai kertas] Ini adalah kerana saya rasa bukan semua orang faham apakah itu bubu naga dan bentuknya macam mana. Untuk menjawab soalan daripada Yang Berhormat Kluang, kita ada buat hebahan dan perkongsian maklumat melalui program Jabatan Perikanan Malaysia, program televisyen seperti bual bicara 999 dan seksyen berita dan berita perikanan, media sosial seperti YouTube, Facebook dan Twiter dan platform pendidikan di Kolej Perikanan Sultan Nazrin Muizzuddin Shah (KPSN) dan Akademi Perikanan Malaysia. Terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua
Baik, saya jemput Yang Berhormat Batang Sadong.
Puan Rodiyah binti Sapiee - Batang Sadong
Terima kasih Tuan Yang di- Pertua.
Pecah kaca pecah gelas, Soalan Batang Sadong nombor sebelas.
11. Puan Rodiyah binti Sapiee [Batang Sadong] minta Menteri Kerja Raya menyatakan pencapaian terkini pelaksanaan dasar ‘zero potholes’ yang dilaksanakan oleh kementerian.
Timbalan Menteri Kerja Raya - Dato’ Sri Haji Abdul Rahman bin Mohamad
Terima kasih, Tuan Yang di-Pertua. Terima kasih, Yang Berhormat Batang Sadong.
Program Aku Janji Sifar Lubang ataupun Zero Potholes, dengan izin telah dilaksanakan mulai 3 Julai 2020 antara pihak Kementerian Kerja Raya, Jabatan Kerja Raya dan juga syarikat konsesi Jalan Persekutuan bagi memantau kerosakan jalan raya serta memperkukuh komitmen Kementerian Kerja Raya terhadap penyampaian perkhidmatan penyelenggaraan Jalan Persekutuan.
Melalui program Zero Potholes ini, kerja-kerja penampalan jalan berlubang akan dilaksanakan dalam tempoh masa 24 jam daripada penemuan ataupun aduan kerosakan.
Selain itu, bagi memantau kualiti tampalan potholes, JKR juga telah melaksanakan audit tampalan potholes bagi memastikan tampalan yang dibuat mengikut spesifikasi yang telah
Timbalan Menteri Kerja Raya - Dato’ Sri Haji Abdul Rahman bin Mohamad
ditetapkan. Bermula Januari sehingga Disember 2022, kementerian ini telah berjaya menampal sebanyak 7,700 bilangan potholes di Semenanjung Malaysia manakala bagi Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan pula ialah sebanyak 56,553 bilangan potholes. Keseluruhan potholes tersebut telah berjaya ditampal dalam tempoh 24 jam bagi Semenanjung Malaysia manakala bagi Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan hanya 431 potholes tidak dapat ditampal dalam tempoh 24 jam dengan peratusan pencapaian adalah sebanyak 99.24 peratus.
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat juga, lokasi yang dapat ditampal dalam tempoh 24 jam adalah di bahagian Bintulu, Sarawak yang melibatkan kesesakan jalan dari Jalan Simpang Bakun ke Empangan Bakun. Ini telah dikenal pasti akibat daripada kenderaan berat lebih muatan. Kesesakan tersebut berlaku walaupun kerja-kerja pembaikan telah dilaksanakan. Satu penyelesaian menyeluruh perlu melibatkan semua pihak terutamanya pihak Kementerian Pengangkutan Malaysia dalam mencapai penyelesaian kepada penggunaan kenderaan lebih muatan serta seterusnya mengurangkan isu kerosakan jalan disebabkan oleh lebihan muatan dan dalam jangka masa panjang mengurangkan kos penyelenggaraan yang semakin tinggi. Terima kasih, Tuan Yang di-Pertua.
Tuan Yang di-Pertua
Yang Berhormat Batang Sadong.
Puan Rodiyah binti Sapiee - Batang Sadong
Terima kasih kepada Yang Berhormat Timbalan Menteri. Soalan tambahan saya ialah minta kementerian menyatakan sejauh mana peranan dan hasil agensi teknikal dalam memberikan khidmat nasihat di peringkat negeri Sarawak dalam menyelesaikan isu zero potholes di negeri Sarawak. Terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua
Silakan.
Dato’ Sri Haji Abdul Rahman bin Mohamad
Terima kasih, Tuan Yang di- Pertua. Tuan Yang di-Pertua, sebenarnya melalui Kementerian Kerja Raya, kita sebenarnya telah melalui agensi teknikal di JKR itu sendiri. Di Sarawak khususnya, usaha dan sentiasa berusaha dari semasa ke semasa untuk memastikan bahawa syarikat konsesi ini melalui perjanjian yang dibuat aku janji mestilah melaksanakan dalam masa yang ditetapkan iaitu dalam masa 24 jam.
Kerja-kerja tampalan lubang ini sebenarnya adalah termasuk dalam sifar lubang (zero potholes) yang telah ditandatangani oleh pihak penyelenggaraan sama ada di Persekutuan ataupun di Sabah dan Sarawak. Yang lebih pentingnya, kita sebenarnya dalam keadaan suasana hari ini kita tahu bahawa hujan sangat melebihi. Hujan melebihi dan jangka masa jalan yang ada di kawasan-kawasan kita sebenarnya telah melebihi usia.
Oleh sebab itu, ketidakcukupan bekalan hot mix premix yang di Bintulu khususnya, menyebabkan konsesi kita menggunakan terpaksa cold mix. Cold mix ini Tuan Yang di- Pertua, ia agak kurang daya ketahanannya dan menyebabkan kelewatan untuk penampalan tersebut.
Jadi, Ahli-ahli Yang Berhormat, penyelenggaraan berskala ini sentiasa kita laksanakan dan mengikut lokasi-lokasi yang dicadangkan oleh kawasan-kawasan yang diberi keutamaan. Terima kasih, Tuan Yang di-Pertua.
Tuan Kalam bin Salan - Sabak Bernam
Soalan tambahan.
Tuan Yang di-Pertua
Silakan.
Tuan Kalam bin Salan - Sabak Bernam
Terima kasih, Tuan Yang di-Pertua.
Kita mengharapkan sasaran kerja selama 24 jam selepas aduan itu betul-betul dilaksanakan. Ini adalah kerana sebelum ini kita lihat lubang-lubang yang ada di jalan itu asalnya kecil tetapi apabila tindakan lebih dari 24 jam baru sampai, dua hingga tiga hari, dua hingga tiga minggu, lubang itu jadi besar. Apabila sudah besar baru hendak buat maintenance, jadi kosnya pun tinggi. Jadi, saya berharap sasaran kerja 24 jam selepas aduan itu, pembaikan jalan itu dijalankan itu betul-betul berlaku dan kalau saya punlah diberi kerja membuat itu, saya lebih suka lubang kecil daripada lubang besar sebab lubang besar kosnya tinggi. Terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua
Silakan.
Dato’ Sri Haji Abdul Rahman bin Mohamad
Terima kasih, Yang Berhormat Sabak Bernam.
Saya rasa semua orang suka lubang kecil daripada lubang besar sebenarnya.
Oleh sebab, ia lebih memudahkan dan untuk pengurangan kos dan sebagainya.
Yang Berhormat Sabak Bernam, sebenarnya sememangnya kita hendak laksanakan sedemikian rupa. Oleh sebab itu, kita sudah nyatakan bahawa aku janji kita mestilah menyelesaikan dalam masa 24 jam. Akan tetapi, ada ketikanya kita juga mengalami beberapa masalah umpamanya sekarang, cuaca sekarang dan kenderaan yang amat berat melalui kawasan-kawasan tertentu seperti yang saya nyatakan dalam jawapan kepada Yang Berhormat Kapar sebentar tadi. Kita sebenarnya menghadapi kenderaan yang melebihi had muatan. Ada yang sampai cecah 100 tan beratnya. Akan tetapi, itu bukan bawah kuasa KKR.
Jadi, kita hendak kerjasama dari semua pihak dan semestinya kalau jalan itu daripada kecil lubangnya akan menjadi lebih besar sekiranya dilalui oleh kenderaan- kenderaan seperti yang saya nyatakan tadi. Sebenarnya, saya sendiri pun buat survey untuk kenderaan yang berat ini sebelum saya duduk dalam KKR. Memang Yang Berhormat pun tahu agaknya masalah itu dan jangka masa hayat jalan itu juga telah melebihi masa dan saya – kita cuba sedaya upaya dengan permohonan daripada Yang Berhormat Pontian agar melebihi sedikit peruntukan kepada kami untuk kita lebih sifarkan masalah potholes ini. Secara teknikalnya, mestilah kita menggunakan perbelanjaan yang besar seperti kita membaharui jalan, sepanjang jalan. Sekarang ini kita dapat hanya buat black spot sahaja.
Oleh sebab itu, saya tahu Ahli-ahli Yang Berhormat, sudah pasti soalan seperti ini kalau boleh semua akan bangun hendak bertanya kepada saya. Terima kasih, Tuan Yang di-Pertua.
Dato’ Siti Zailah binti Mohd Yusoff - Rantau Panjang
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Kepimpinan melalui teladan, Soalan nombor dua belas mohon jawapan.
12. Dato’ Siti Zailah binti Mohd Yusoff [Rantau Panjang] minta Menteri Pendidikan menyatakan apakah modul pembangunan jati diri dan akhlak yang digunakan oleh pihak kementerian yang terkini memandangkan sikap kepimpinan negara yang ada sekarang sebahagiannya adalah bertentangan dengan apa yang diajar di sekolah seperti nilai integriti seperti tidak mencuri, rasuah dan bercakap benar.
Timbalan Menteri Pendidikan - Puan Lim Hui Ying
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, terima kasih Yang Berhormat.
KPM sangat menitik beratkan pembangunan adab, akhlak dan integriti bagi melahirkan anak yang baik lagi cerdik dalam memastikan generasi waris masa hadapan mempunyai jati diri yang kukuh dan perpaduan dalam kalangan murid untuk menghadapi pelbagai cabaran pada masa mendatang.
Selaras dengan ini, KPM telah memperkenalkan Tujuh Teras Nadi Keunggulan KPM. Teras kedua memberi penekanan kepada aspek karamah insaniah iaitu pembentukan adab, akhlak dan integriti bagi mewujudkan suasana harmoni yang akan menghindari gejala negatif. Aspek karamah insaniah ini bukan sahaja diterap dalam pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah malah turut diterapkan dalam pembelajaran di luar bilik darjah.
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, KPM telah mengadakan pelbagai program untuk membentuk murid-murid yang mempunyai jati diri, keperibadian yang luhur, keterampilan, kepimpinan yang berilmu, amanah, cekap, integriti, proaktif dan lain-lain.
Antara program yang telah dilaksanakan adalah seperti Simposium Hal Ehwal Murid
Timbalan Menteri Pendidikan - Puan Lim Hui Ying
Peringkat Kebangsaan yang dilaksanakan pada setiap tahun bagi memberikan pengiktirafan kepada sekolah-sekolah yang melaksanakan amalan terbaik disiplin, kaunseling dan hak asasi manusia sebagai perkongsian kepada semua sekolah KPM.
Di samping itu, program dakwah kepimpinan Islam di sekolah-sekolah KPM dilaksanakan dengan tujuan untuk melatih pemimpin-pemimpin dalam kalangan murid dengan memberi fokus kepada modul kepimpinan Islam. Selain itu, KPM juga telah menyediakan dan melaksanakan Manual Kesedaran Sivik dan amalan nilai murni dalam kalangan murid di semua sekolah KPM yang juga menekankan kepada pembangunan sahsiah, pengukuhan jati diri dan kekuatan akal.
Bagi memastikan program pembinaan hati diri murid di sekolah dapat diperkasakan, KPM juga telah melaksanakan penilaian dan Program Sahsiah Unggul Murid (SUMUR) di sekolah menengah yang menekankan kepada tiga teras utama iaitu berbudi bahasa, penampilan diri serta jati diri. Pada peringkat sekolah menengah juga, KPM sentiasa berusaha memantapkan aspek pembangunan jati diri dan sahsiah murid dengan menyediakan modul yang dilaksanakan dalam Kem Jati Diri dan Kem Pemantapan Sahsiah di sekolah KPM untuk melahirkan insan yang beradab mithali.
KPM juga telah menerbitkan Modul Pembentukan Karakter dan Nilai (MPKN) pada tahun 2022 bagi memperkasakan penerapan nilai dalam mata pelajaran Pendidikan Islam. MPKN dibina berasaskan 16 nilai murni sejagat. Melalui kurikulum Pendidikan Moral pula, KPM telah mengambil beberapa pendekatan untuk melahirkan murid yang mempunyai jati diri yang tinggi. Nilai-nilai seperti hormat, harga diri, rasional, toleransi, kasih sayang, mematuhi peraturan dan undang-undang serta berhemah tinggi diajar kepada murid sebagai satu cara untuk menerapkan tingkah laku murid yang terpuji serta memupuk jati diri dalam kalangan murid. Sekian, terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua
Yang Berhormat Rantau Panjang.
Dato’ Siti Zailah binti Mohd Yusoff - Rantau Panjang
Ya, terima kasih Tuan Yang di-Pertua, terima kasih Yang Berhormat Timbalan Menteri atas jawapan yang diberi.
Saya ingin tahu, adakah silibus untuk melahirkan semangat patriotisme di kalangan pelajar-pelajar dilaksanakan di peringkat sistem pendidikan kita dan terutama untuk melahirkan anak-anak muda yang celik politik sesuai dengan umur 18 tahun undi awal? Begitu juga, apakah kerjasama ataupun modul yang telah dilaksanakan pihak kementerian untuk menangani isu gejala cyberbully melibatkan kanak-kanak? Ramai yang terleka dengan game dan sebagainya, jadi kesan yang cukup besar.
Begitu juga banyak filem-filem yang tidak berkualiti yang dilayarkan melalui Internet yang juga menjejaskan keperibadian anak-anak kita. Jadi, sejauh mana perkara ini ditangani di pihak Kementerian Pendidikan?
Tuan Yang di-Pertua
Terima kasih. Yang Berhormat Menteri.
Puan Lim Hui Ying
Terima kasih Yang Berhormat. Untuk makluman Yang Berhormat, KPM tidak bercadang untuk mewujudkan satu silibus baharu mengenai patriotisme. Ini kerana KPM telah melaksanakan pelbagai usaha bagi memberikan pendidikan awal mengenai sistem demokrasi negara dan meningkatkan kesedaran sebagai persediaan menjadi pengundi dalam kalangan murid sekolah.
Daripada segi filem yang disebutkan tadi, kami juga sentiasa akan mengadakan program yang bersifat preventif dalam memastikan jati diri murid sentiasa kukuh supaya mereka tidak terpengaruh dengan gejala negatif terutamanya daripada tayangan filem yang tidak berkualiti. Antara program yang akan dilaksanakan oleh KPM ialah Kem Jati Diri, Program Sahsiah Unggul Murid (SUMUR), jadi junior, Manual Kesedaran Sivik dan amalan nilai murni dalam kalangan murid di sekolah rendah dan menengah.
Dari segi cyberbully, kami akan sentiasa dalam Pendidikan Moral atau Pendidikan Islam juga akan selalu menitikberatkan tentang kesan-kesan cyberbully yang mereka mesti perhatikan. Terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua
Silakan.
Tuan Syahredzan bin Johan - Bangi
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Soalan saya, kita kadang-kadang tahu ada yang diajar di sekolah mungkin tidak sama dengan apa yang murid lihat di pertunjukan oleh pemimpin-pemimpin politik. Jadi, soalan saya. Kalaulah ditanya oleh anak murid ini, apakah respons terbaik kepada pelajar sekiranya pelajar ini tanya ada perbezaan antara nilai-nilai murni yang dimiliki atau diajar dengan nilai-nilai yang ditunjukkan oleh pemimpin-pemimpin politik?
Tuan Yang di-Pertua
Silakan, Yang Berhormat Menteri.
Puan Lim Hui Ying
Terima kasih Ahli Yang Berhormat dari Bangi. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, KPM sentiasa menekankan nilai-nilai murni yang perlu dimiliki oleh setiap individu termasuk dalam kalangan murid yang dilantik sebagai pemimpin di sekolah menerusi badan beruniform atau kelab dan persatuan. Murid juga didedahkan dengan amalan kepimpinan bermula daripada prasekolah sehingga tamat persekolahan menengah.
KPM juga telah memperkenalkan Tujuh Teras Nadi Keunggulan KPM. Teras kedua memberi penekanan, seperti saya sudah sebutkan tadi, kepada aspek karamah insaniah iaitu pembentukan adab, akhlak dan integriti bagi mewujudkan suasana harmoni yang akan menghindar gejala negatif. Aspek karamah insaniah ini bukan sahaja diterap dalam pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah, malah turut diterapkan dalam pembelajaran di luar bilik darjah. KPM yakin bahawa kurikulum dan kokurikulum serta program yang dilaksanakan dapat membentuk nilai kepimpinan yang akan dipegang oleh murid selepas mereka tamat persekolahan. Terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua
Terima kasih. Seterusnya saya jemput Dr. Mohammed Taufiq bin Johari Yang Berhormat Sungai Petani.
Dr. Mohammed Taufiq bin Johari - Sungai Petani
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Sungai Petani ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan takziah kepada saudara-saudara kita yang mengalami bencana banjir di Johor.
13. Dr. Mohammed Taufiq bin Johari [Sungai Petani] minta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan menyatakan sejauh manakah kementerian akan memastikan semua agensi kerajaan menggembleng tenaga untuk memastikan pengeluaran hasil makanan itu mencukupi dan apakah halangan yang mengakibatkan negara terpaksa mengimport bahan makanan.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan - Tuan Chan Foong Hin
Terima kasih Yang Berhormat Sungai Petani. Untuk makluman Yang Berhormat, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memacu agenda sekuriti makanan negara secara holistik dengan menggembleng tenaga dengan merentas agensi dan kementerian.
Hal ini diperlihatkan menerusi Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara
(Pelan Tindakan DSMN) 2021-2025 dengan menggariskan inisiatif yang bukan sahaja melibatkan kerajaan tetapi juga menterjemah kolaborasi dan komitmen yang didukung oleh sektor swasta dan penduduk.
Antara lain, usaha untuk menggembleng tenaga secara menyeluruh oleh KPKM juga jelas dengan komitmen untuk meneliti keterjaminan makanan dari segi kecukupan, kemampuan membeli, aspek keselamatan dan khasiat makanan secara berterusan di pelbagai platform, antaranya Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara (FSCC), Jawatankuasa Eksekutif Mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara dan Kluster atau Jawatankuasa Teknikal Mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara yang memaparkan peranan merentas kementerian, jabatan dan agensi, termasuk peranan ahli akademik, pemain industri dan badan bukan kerajaan (NGO) dalam merangka Dasar Sekuriti Makanan yang utuh.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan - Tuan Chan Foong Hin
Kedua, Mesyuarat Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan bersama Exco- Exco Pertanian Negeri yang memaparkan kerjasama strategik dan kolaborasi berterusan KPKM dengan kerajaan negeri akan memperkasa sektor agromakanan negara untuk meningkatkan sekuriti bekalan makanan demi kesejahteraan pengeluar makanan termasuk para pesawah, petani, penternak dan nelayan.
Ketiga, penubuhan Jawatankuasa Dasar Sekuriti Makanan Peringkat Negeri oleh Kerajaan Negeri Johor, Pahang dan Perak juga memaparkan komitmen kerajaan negeri untuk menggembleng tenaga bersama-sama KPKM dalam merealisasikan agenda sekuriti makanan negara.
Pada masa yang sama, KPKM juga menjalin kerjasama strategik dengan agensi lain untuk memperkasa dan membangunkan dasar sekuriti makanan yang komprehensif dan menyeluruh. Kerjasama ini melibatkan perkongsian data pertanian melibatkan usahama dengan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dan data guna dana dengan PLANMalaysia.
Tuan Yang di-Pertua, menyentuh aspek berhubung halangan yang menyebabkan negara terpaksa mengimport makanan, ingin saya tekankan di sini bahawa kita tidak dapat menafikan bahawa sumber import menyumbang kepada sekuriti makanan negara. Ini kerana terdapat komoditi makanan yang tidak dapat dihasilkan secara domestik, antaranya disebabkan ia tidak ekonomik, faktor kesesuaian iklim, serta kekangan sumber dana dan tenaga kerja.
Selain itu, permintaan pengguna turut mempengaruhi import makanan. Kesan daripada pilihan gaya hidup, peningkatan pendapatan dan perubahan persekitaran.
Justeru, bagi memastikan bekalan sumber import adalah stabil, KPKM telah melaksanakan inisiatif untuk mempelbagaikan sumber negara import termasuk guna tenaga asing. Usaha untuk menggembleng tenaga dan sumber ini akan KPKM teruskan dalam menjamin kesinambungan bekalan makanan negara kekal terjamin. Sekian, terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua
Terima kasih. Yang Berhormat Sungai Petani.
Dr. Mohammed Taufiq bin Johari - Sungai Petani
Terima kasih Yang Berhormat Timbalan Menteri atas jawapan yang diberikan. Di era globalisasi dan digitalisasi ini kita melihat bahawa kerajaan sedang menekankan aspek adaptasi teknologi tinggi dan digitalisasi. Sejauh manakah kesediaan pihak kementerian untuk menerapkan adaptasi teknologi tinggi ini dan apakah perancangan dan projek-projek pertanian berteknologi tinggi yang akan dijalankan oleh kerajaan dan sedang dijalankan? Terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua
Silakan Yang Berhormat Menteri.
Tuan Chan Foong Hin
Untuk menjawab soalan Yang Berhormat Sungai Petani di hadapan mantan Yang Berhormat Sungai Petani. Okey, kerajaan melalui KPKM telah menggunakan banyak cara untuk adaptasi teknologi moden seperti Internet of Things****,** seperti yang dipaparkan di pelbagai Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM). Seperti contoh, Yang Berhormat Sungai Petani dijemput boleh melawat TKPM di Serdang dan melihat bagaimana MARDI, institut R&D yang negara kita ini macam mana membuat beberapa tawaran dalam bentuk yang pelbagai yang mengikut kesesuaian modal untuk petani.
Tuan Yang di-Pertua
Yang Berhormat Beluran.
Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee - Beluran
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Beras merupakan makanan ruji dan perlu dibekalkan seiring dengan keperluan SSL negara. Beberapa pendekatan oleh kementerian sebelum ini, SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB) dan juga pendekatan lima dua iaitu penanaman lima kali dalam tempoh dua tahun untuk padi. Sejauh mana pendekatan lima dua ini masih dijalankan dan apakah tindakan lanjut yang dibuat oleh kementerian untuk memastikan beras boleh ditanam lima kali dalam dua tahun? Terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua
Terima kasih. Silakan Yang Berhormat Menteri.
Tuan Chan Foong Hin
Ya, untuk menjawab soalan daripada Yang Berhormat Beluran, Kerajaan Perpaduan sekarang ini tetap akan meneruskan SMART SBB yang telah dimulai oleh Yang Berhormat Beluran semasa beliau menyandang jawatan sebagai Menteri. Bagi pendirian kementerian ini, yang pentingnya kalau program yang baik kita teruskan. Kalau program yang kurang baik, kita akan menambahbaikkan.
So, tiada masalah kita mengakui SMART SBB salah satu program yang telah bermula dari zaman Yang Berhormat Beluran tetap kita akan teruskan supaya SSR akan dapat ditingkatkan dan beras ditambah daripada segi peningkatan hasilnya. Sekian, terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua
Baik saya jemput Tuan Shaharizukirnain bin Abd Kadir, Yang Berhormat Setiu.
Tuan Wan Ahmad Fayhsal bin Wan Ahmad Kamal - Machang
Tuan Yang di- Pertua, boleh tidak tambah soalan?
Tuan Yang di-Pertua
Saya sudah panggil nama tadi. Silakan. Yang Berhormat Setiu.
14. Tuan Shaharizukirnain bin Abd Kadir [Setiu] minta Menteri Kewangan menyatakan sama ada kerajaan melaksanakan kajian terhadap kesan kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) terhadap golongan B40 yang terhimpit oleh kesan kenaikan kadar bayaran pinjaman bulanan yang semakin tinggi.
Timbalan Menteri Kewangan - Datuk Seri Haji Ahmad bin Haji Maslan
Makan kuini tepi paya, Dengarkan ini jawapannya. Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia bertanggungjawab merumuskan dasar monetari secara autonomi bagi mengekalkan kestabilan harga serta memastikan pertumbuhan ekonomi kekal mampan pada masa hadapan. Proses membuat keputusan dasar monetari atau MPC BNM merupakan proses komprehensif dan melibatkan perbincangan teknikal. Dalam hal ini, MPC juga meneliti maklum balas daripada hasil pengawasan dan pemantauan, analisis dan kajian terhadap ekonomi global dan domestik mengenai harga serta keadaan monetari dan kewangan secara menyeluruh termasuk impak kenaikan OPR kepada peminjam.
Mengenai kesan peningkatan OPR kepada peminjam terutamanya golongan B40, kerajaan memahami keresahan rakyat untuk melunaskan ansuran bulanan berikutan kenaikan OPR baru-baru ini. Namun demikian, bukan semua peminjam terkesan dengan peningkatan OPR kerana peningkatan kepada ansuran bulanan hanya melibatkan peminjam yang mempunyai pinjaman jenis berkadar terapung. Setakat Disember 2022, sebahagian peminjam iaitu 50.3 peratus daripada jumlah akaun pinjaman dalam sektor isi rumah adalah pinjaman berkadar tetap berjumlah 6.4 juta akaun.
Bagi peminjam berpendapatan rendah iaitu pendapatan kurang dari RM5,000 sebulan termasuk golongan B40 dianggarkan sebanyak 54.8 peratus daripada jumlah akaun pinjaman adalah berasaskan kadar tetap melibatkan 3.5 juta akaun. Perlu ditekankan walaupun kenaikan OPR ini akan memberi kesan kepada peminjam dan penyimpan, langkah ini adalah wajar dan perlu bagi memastikan inflasi terkawal dan ekonomi terus mampan. Ekonomi yang sihat dan keadaan harga yang lebih stabil akan memberi limpahan yang lebih baik kepada semua rakyat.
Kenaikan OPR sebanyak 100 mata asas mencerminkan pengembalian tahap akomodasi dasar monetari ke tahap yang wajar berikutan pengurangan sebanyak 125 mata asas semasa pandemik. Oleh itu, bagi pinjaman berkadar terapung yang diambil sebelum pandemik, sebahagian besar daripada jumlah pinjaman terkumpul, jumlah
Timbalan Menteri Kewangan - Datuk Seri Haji Ahmad bin Haji Maslan
ansuran bulanan pada masa ini masih lebih rendah berbanding jumlah ansuran sebelum pandemik iaitu tiga peratus.
Bagi golongan peminjam mudah terjejas yang masih menghadapi kesukaran akibat kenaikan jumlah ansuran pinjaman, pelbagai program bantuan masih tersedia.
Antara bantuan tersebut adalah bantuan bayaran balik pinjaman secara bersasar, khidmat nasihat dan bantuan program AKPK iaitu Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit, silalah lihat portal www.akpk.org.my Terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua
Yang Berhormat Setiu.
Tuan Shaharizukirnain bin Abd Kadir - Setiu
Terima kasih Yang Berhormat Timbalan Menteri. Soalan tambahan saya, umum mengetahui kenaikan OPR ini telah memberi kesan bukan sahaja kepada peminjam bahkan juga kepada pemain industri di sektor pembuatan dan pembinaan kerana peluang mereka untuk membuat pinjaman semakin berkurangan disebabkan bayaran bulanan yang tinggi. Apakah langkah yang diambil oleh Jawatankuasa Dasar Monetari Negara bagi mengurangkan beban yang ditanggung oleh mereka? Adakah Yang Berhormat Timbalan Menteri bersetuju jika saya katakan bahawa kerajaan juga berperanan untuk mengawal kenaikan OPR ini, bukan hanya ditentukan oleh Bank Negara sebagaimana dakwaan oleh sesetengah pihak?
Sekian, terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua
Baik, sekian terima kasih.
Datuk Seri Haji Ahmad bin Haji Maslan
Izinkan saya menyebut bahawa kadar OPR ini pada 5 November 2019, ia adalah tiga peratus. Kemudian, pada 22 Januari diturunkan 2.75 peratus, Mac 2020 turun 2.5 peratus, Mei 2020 turun dua peratus.
Kemudian, apabila COVID-19, kerana COVID-19. Maka, pada 7 Julai 2020 turun lagi 2.5 peratus menjadi 1.75 peratus. Ini adalah ketika COVID-19, dan 1.75 peratus itu kekal pada tahun 2021 dan sehingga 2022. Akan tetapi pada 11 Mei 2022, apabila COVID sudah reda sedikit, maka dinaikkan 0.25 peratus jadi dua peratus sehinggalah pada 3 November, sebelum pilihan raya, dinaikkan lagi 2.5 peratus menjadi 2.75 peratus.
Datuk Seri Haji Ahmad bin Haji Maslan
Jadi, itu sejarah kenaikan OPR dari 19 Januari 2023. Tidak ada perubahan. Pada hari Khamis dan Jumaat ini, ada lagi mesyuarat. Kita harap tidak ada perubahan pada kadar 2.75 peratus itu. Ia memang sektor pembuatan ada juga terlibat dan separuh daripadanya itu merupakan PMKS tetapi ada pelbagai kaedah yang kita membuat bantuan pada PMKS sektor pembuatan. Ada RM40 bilion bantuan yang diumum dalam bajet untuk membantu sektor PMKS ini yang disebut oleh Yang Berhormat Perdana Menteri ini. Terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua
Yang Berhormat Semporna.
Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie bin Haji Apdal - Semporna
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Yang Berhormat Menteri, saya ingin bertanya, memandangkan oleh kerana peningkatan OPR di negara kita sudah berkali-kali. Bukan sekali, sudah banyak kali. Saya yakin dalam keadaan musim COVID-19 dahulu, banyak di antara institusi kewangan dan sehingga sekarang saya yakin mendapat keuntungan yang begitu banyak. It is not Bank Negara benefitting from it but the financial institution. Saya melihat mengapa pihak kerajaan, untuk mendapatkan hasil, tidak melakukan windfall tax atau pun pendekatan untuk mencukai institusi kewangan yang mendapat keuntungan yang begitu banyak semenjak COVID-19 sampai la ni.
Adakah pihak kerajaan, Kementerian Kewangan mengambil langkah-langkah untuk memastikan supaya- downsizing bank-bank ini banyak, kurangkan tenaga, lepas itu branches closed down. That Tuan Yang di-Pertua, banyak sudah untung. Sama ada pihak kerajaan mengambil langkah-langkah untuk memberi sama ada, not regressive taxation, windfall tax, dan berbagai-bagai yang perlu dilakukan oleh pihak kerajaan untuk mendapat hasil yang jauh lebih banyak. Terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua
Silakan Menteri.
Datuk Seri Haji Ahmad bin Haji Maslan
Terima kasih atas cadangan itu. Kita tidak ada membuat sebarang pengumuman tentang windfall tax ketika bajet. Walau bagaimanapun, baru-baru ini, Menteri Kewangan ada membuat arahan kepada institusi bank yang mendapat keuntungan begitu besar, mereka diminta untuk melakukan CSR kepada rakyat terutama B40. Itu juga sejenis bantuan yang akan diumumkan.
Kemungkinan apabila Menteri Kewangan menggulung belanjawan ini di peringkat dasar, beliau akan mengumumkan apakah yang akan dibuat oleh pihak bank yang mendapat keuntungan besar itu membantu rakyat melalui CSR. Setakat inilah yang boleh diberitahu.
Terima kasih Yang Berhormat Semporna atas cadangan.
Tuan Yang di-Pertua
Baik. Terima kasih. Yang Berhormat, sekarang tamatlah sesi untuk waktu pertanyaan-pertanyaan bagi jawapan lisan pada hari ini. Saya ucapkan terima kasih pada semua Menteri.
[Sesi Pertanyaan-pertanyaan bagi Jawab Lisan tamat]
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) - Tuan Ramkarpal Singh a/l Karpal Singh
Tuan Yang di-Pertua, “Mengikut Peraturan Mesyuarat 12(1), saya mohon mencadangkan bahawa Mesyuarat pada hari ini tidak akan ditangguhkan sehingga jam 9 malam dan selepas itu Majlis Mesyuarat akan ditangguhkan sehingga jam 10 pagi hari Selasa, 7 Mac 2023”.
Tuan Yang di-Pertua
Ada yang menyokong?
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan - Tuan Chan Foong Hin
Kota Kinabalu menyokong.
Tuan Yang di-Pertua
Terima kasih. Ahli-ahli Yang Berhormat, sekarang saya kemukakan masalah kepada Majlis untuk diputuskan. Masalahnya ialah usul seperti yang dikemukakan tadi hendaklah disetujukan.
[Usul dikemuka bagi diputuskan; dan disetujukan]
Aturan Urusan Mesyuarat dibacakan bagi menyambung semula perbahasan yang ditangguhkan atas masalah “Bahawa Rang Undang-undang Perbekalan 2023 dibacakan kali yang kedua sekarang” dan “Bahawa Usul yang berikut ini dirujuk kepada Jawatankuasa sebuah-buah Majlis.” “Bahawa Dewan ini, menurut subseksyen 4(3) Akta Kumpulan Wang Pembangunan 1966 [Akta 406], membuat ketetapan bahawa suatu jumlah wang sebanyak tidak lebih dari sembilan puluh sembilan bilion ringgit (RM99,000,000,000) dibelanjakan daripada Kumpulan Wang Pembangunan bagi tahun 2023, dan bagi tujuan dan butiran Perbelanjaan Pembangunan yang dinyatakan di bawah Maksud Pembangunan atau (“P”) dalam senarai Anggaran Perbelanjaan Persekutuan 2023, yang dibentangkan sebagai Kertas Perintah 19 Tahun 2023, adalah diuntukkan di bawah Maksud-maksud yang berkenaan jumlah-jumlah yang bersetentangan dengan butiran-butiran itu di ruangan enam dan tujuh senarai tersebut, dan bahawa Usul yang telah diluluskan oleh Dewan ini pada 20 Disember 2022 mengenai perbelanjaan yang dibelanjakan daripada Kumpulan Wang Pembangunan bagi tahun kewangan 2023 adalah dibatalkan dan hendaklah disahkan.” [2 Mac 2023]
Tuan Yang di-Pertua
Yang Berhormat, kita akan sambung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2023.
Saya ada senarai panjang yang saya akan bacakan. Sebentar lagi Yang Berhormat Batu akan teruskan dengan perbahasan. Kemudian, diikuti dengan Yang Berhormat Pagoh, Yang Berhormat Seri Gading, Yang Berhormat Kepala Batas, Yang Berhormat Cheras, Yang Berhormat Kuantan, Yang Berhormat Kuala Pilah, Yang Berhormat Bayan Baru, Yang Berhormat Lumut, Yang Berhormat Batang Sadong, Yang Berhormat Baling, Yang Berhormat Selangau, Yang Berhormat Beluran, Yang Berhormat Seputeh, Yang Berhormat Parit, Yang Berhormat Batang Lupar, Yang Berhormat Keningau, Yang Berhormat Saratok, Yang Berhormat Ipoh Timur, Yang Berhormat Jerai, Yang Berhormat Tapah, Yang Berhormat Kulim-Bandar Baharu, Yang Berhormat Sungai Petani, Yang Berhormat Lubok Antu, Yang Berhormat Setiu, Yang Berhormat Shah Alam, Yang Berhormat Kuala Kangsar, Yang Berhormat Bentong, Yang Berhormat Kapar, Yang Berhormat Sungai Buloh, Yang Berhormat Kota Belud, Yang Berhormat Langkawi, Yang Berhormat Raub, Yang Berhormat Tangga Batu, Yang Berhormat Kalabakan, Yang Berhormat Mersing, Yang Berhormat Miri, Yang Berhormat Sipitang, Yang Berhormat Parit Buntar, Yang Berhormat Putatan, Yang Berhormat Kemaman, Yang Berhormat Jelutong, dan Yang Berhormat Permatang Pauh. Insya-Allah kalau kita ada masa kita akan lajak kan lagi tiga. Setiap pembahas akan diberikan 10 minit kecuali ketua-ketua parti, 15 minit.
Isu kedua yang saya hendak maklumkan ialah MCMC mengadakan pameran di luar. pada hari ini dan esok. Jadi, mana-mana Yang Berhormat ada masalah, kompelin dan sebagainya, bolehlah berjumpa dengan pihak-pihak MCMC di luar. Cuma saya cadangkan supaya MCMC sediakan borang kerana tidak mungkin MP-MP boleh
Tuan Yang di-Pertua
berkerumun. Isikan borang, jadi MP-MP boleh maklumkan dan terus majukan apa yang mereka...
Dato’ Seri Dr. Shahidan bin Kassim - Arau
Yang Berhormat.
Tuan Yang di-Pertua
Baik.
Dato’ Seri Dr. Shahidan bin Kassim - Arau
Yang Berhormat. Saya merayulah supaya ketua parti itu dibenarkan 20 minit.
Tuan Yang di-Pertua
Dipertimbangkan 20 minit terus. Insya-Allah.
Dato’ Seri Dr. Shahidan bin Kassim - Arau
Terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua
Baik, saya mulakan Yang Berhormat Batu, kemudian selepas itu Yang Berhormat Pagoh. Yang Berhormat Batu, silakan. Masa 20 minit untuk Ketua Parti. Silakan Yang Berhormat Batu.
Tuan Prabakaran a/l M Parameswaran - Batu
Terima kasih Tuan Yang di- Pertua kerana bagi peluang pada Batu untuk mengambil bahagian dalam RUU ini.
Saya terus kepada perbahasan saya iaitu berkaitan dengan kemapanan dalam pertanian. Sistem pertanian dan makanan global pada masa ini tidak mampu memenuhi permintaan dunia. Masalah ini bukan sahaja berada di peringkat dunia, malahan ia turut melibatkan pasaran komersial Malaysia dalam sektor pertanian termasuk untuk dekad- dekad yang mendatang.
Meningkatkan kekurangan sumber, perubahan iklim global, konflik global, peningkatan kos pengangkutan, pandemik, kekurangan tenaga buruh, kekurangan sumber utama disebabkan oleh ketidakmapanan penghasilan baja menyebabkan negara harus berdepan dengan pembelian bahan mentah daripada Amerika termasuk antimicrobial resistance (AMR) yang melibatkan kos yang tinggi.
ASEAN telah mengeluarkan satu garis panduan dan strategi yang dipanggil Developing Food Security and Food Productivity in ASEAN with Sustainable and Secular Agriculture, dengan izin. Dalam garis panduan dan strategi ini, ASEAN telah menekankan dua komponen utama dalam keselamatan makanan; food availability, food self-sufficiency ratio (FSSR), food accessibility (Global Food Security Index), dengan izin.
Peningkatan ketersediaan makanan akan menjadi keutamaan bagi seluruh negara pada tahun-tahun mendatang. Memandangkan pelbagai kelemahan dan cabaran yang dihadapi untuk pertanian dan pengeluaran di Malaysia, adalah jelas bahawa pelan yang komprehensif dan bersatu diperlukan untuk mengatasi isu-isu ini bagi mencapai pengeluaran makanan yang mapan dan keselamatan makanan. Bagi memastikan perkara ini berjalan mengikut garis panduan, keterlibatan dalam pengurusan antara kementerian dan agensi juga memainkan peranan utama.
[Timbalan Yang di-Pertua [Puan Alice Lau Kiong Yieng] **mempengerusikan Mesyuarat****] Pada pandangan saya, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Kementerian Kesihatan, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya dan Kementerian Kewangan.
Ingatlah bahawa ‘bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing’. Dengan usaha sama antara kementerian, garis panduan yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa ASEAN dapat dilaksanakan demi kebaikan negara. Pelan ini merangkumi pelbagai inisiatif seperti menggalakkan amalan pertanian yang mapan, melabur dalam penyelidikan dan pembangunan pertanian, meningkatkan akses kepada
Tuan Prabakaran a/l M Parameswaran - Batu
teknologi dan latihan, pembangunan logistik dan infrastruktur yang lebuh baik untuk rantaian bekalan makanan dan melaksanakan langkah perlindungan sosial untuk petani berskala kecil. Secara tidak langsung, ia juga membantu dalam mewujudkan sistem makanan yang lebih berdaya tahan dan mapan di rantau ini.
Tuan Prabakaran a/l M Parameswaran - Batu
Peningkatan keselamatan makanan dan hasil pemakanan untuk jutaan manusia.
Rancangan pengeluaran makanan pertanian mampan yang komprehensif dan bersatu adalah penting untuk mengatasi kelemahan dan cabaran yang dihadapi oleh pertanian dan pengeluaran makanan di Malaysia dalam usaha ke arah keselamatan makanan di rantau ini.
Saya melihat adalah harus bagi Malaysia untuk bersama-sama ASEAN dalam mengatasi isu keselamatan makanan oleh sebab pihak ASEAN telah mengenal pasti 1001 satu masalah dan solusi, dalam keterjaminan makanan malahan ASEAN akan bersama- sama membantu negara anggotanya bagi mengatasi sebarang kemungkinan yang berlaku. Saya mencadangkan kepada kerajaan agar satu jawatankuasa dibentuk untuk mengatasi keselamatan dan keterjaminan makanan untuk kepentingan negara daripada pelbagai sudut.
Tuan Yang di-Pertua, saya juga ingin bangkitkan berkaitan- sorry, tidak nampak Tuan Yang di-Pertua sudah tukar.
Tuan Yang di-Pertua, saya juga ingin membangkitkan berkaitan dengan isu perumahan di seluruh negara ataupun di Wilayah Persekutuan. Menarik perhatian saya, berkaitan dengan perkara 202 dalam ucapan Belanjawan 2023 yang baru sahaja dibentangkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri selaku Menteri Kewangan tempoh hari yang membawa maksud beberapa projek PPR baharu sedang dilaksanakan melibatkan peruntukan RM367 juta yang memanfaatkan 12,400 bakal penghuni baharu.
Batu ingin merakam rasa kesyukuran dengan limpah kurnianya sehingga terlahir sebuah Kerajaan Perpaduan, sebuah Kerajaan Madani besar.
Bagi saya Tuan Yang di-Pertua, apabila berkaitan dengan inisiatif perumahan baharu ini, saya amat bersetuju dan kalau kita tengok di kawasan saya, ada banyak perumahan kos rendah dan juga PPR di mana saiz rumah tersebut adalah hanya 500 hingga 700 kaki persegi. Apabila kita melalui ataupun mengadakan saiz rumah yang kecil sebegini untuk kumpulan tertentu di mana golongan B40, banyak isu sosial akan lahir.
Apabila kita tengok bilangan ataupun saiz keluarga mungkin ada lima atau enam orang dan 500 square feet dengan 700 square feet merangkumi satu atau dua buah bilik sahaja untuk mereka tidur.
So, maksud saya saiz rumah tidak cukup untuk satu-satu keluarga untuk tinggal di rumah tersebut. Jadi, anak-anak muda mengambil jalan mudah, keluar bersama kenalan dan mereka wujudkan zon selesa mereka sendiri. Daripada sinilah mula segala berjinak-jinak dengan rokok dan semakin hari semakin banyak perkara baharu dicubanya.
Biasalah sifat ingin tahu anak-anak muda.
Selain itu, penempatan seperti PPR dan rumah kos rendah ini mempunyai beberapa isu lain yang boleh saya kongsikan di sini. Saya mengambil pendekatan untuk menjadikan rujukan Flat Sri Kelantan, Flat Sri Pangkor, Flat Sri Negeri Sembilan, Flat Sri Perak, Flat Sentul Utama di mana disebabkan kepadatan penduduk, masalah tempat letak kereta juga menjadi masalah. Laluan menjadi sempit oleh sebab kiri kanan di bahu jalan dijadikan tempat letak kereta. Rata-rata penduduk di situ telah mahir oleh sebab mereka telah berdepan masalah ini untuk satu jangka masa panjang. Walaupun begitu, saya optimis mengatakan bahawa Kerajaan Madani mampu memberi penambahbaikan taraf kehidupan rakyat yang cuba - pastinya mereka ini daripada golongan B40.
Selain itu, cuba kita lihat masalah ini daripada tirai berbeza di mana jika saya katakan senarionya apabila berlaku kecemasan. Bagaimanakah kenderaan muatan besar seperti bomba ingin melalui kawasan tersebut? Sukar. Percayalah saya masih optimis bahawa Kerajaan Madani akan atasi masalah ini secara berperingkat. Mulakan dengan pembinaan parkir bertingkat yang mampu menampung dua unit kenderaan bagi setiap unit rumah.
Tuan Prabakaran a/l M Parameswaran - Batu
Saya yakin bahawa Kerajaan Madani mampu berbincang dengan pihak pemaju taraf dan hidup rakyat mampu ditingkatkan. Syarat pembinaan haruslah mengikut garis panduan kerajaan iaitu saiz rumah sekurangnya 1,000 kaki persegi dan parkir bertingkat harus dilaksanakan. Jika mereka akur barulah pihak majlis mengeluarkan Development Order, dengan izin.
Saya ingin juga bangkitkan berkaitan dengan isu permohonan PPR di Wilayah Persekutuan di mana tiga tahun lalu saya dapat tahu hampir 38,000 permohonan PPR di Wilayah Persekutuan. Apabila saya tanya data latest, dengan izin, saya tidak dapat. Saya harap menteri yang kementerian yang terbabit bagi saya jawapan, apakah bilangan permohonan rumah PPR di Wilayah Persekutuan? Itu sahaja ucapan daripada saya, Tuan Yang di-Pertua. Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih bagi Batu ambil bahagian.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Terima kasih Yang Berhormat Batu. Saya jemput Yang Berhormat Pagoh...
[Tepuk]
Tan Sri Dato’ Haji Mahiaddin bin Haji Md Yassin - Pagoh
Bismillahi Rahmani Rahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih Tuan Yang di- Pertua.
Saya mengucapkan terima kasih kerana diberikan peluang untuk mengambil bahagian dalam perbahasan Belanjawan 2023 pada kali ini. Terlebih dahulu saya mengajak Ahli-ahli Yang Berhormat mendoakan agar semua mangsa banjir di negeri Johor dan di negeri-negeri lain yang terlibat diberikan perlindungan, keselamatan oleh Allah SWT dan kesabaran dalam berdepan musibah.
Sesungguhnya menjadi tanggungjawab kita semua untuk bersama-sama membantu mereka dalam menghadapi bencana alam ini tanpa mengira perbezaan parti politik. Sehubungan itu, saya ingin mencadangkan supaya kerajaan meluluskan peruntukan segera sekurang-kurangnya mungkin RM300,000 Tuan Yang di-Pertua pada semua Ahli-ahli Parlimen yang kawasan mereka dilanda banjir...
[Tepuk] termasuklah Ahli- ahli Parlimen daripada Pembangkang. Peruntukan ini boleh digunakan oleh Ahli-ahli Parlimen untuk menyalurkan bantuan segera kepada mangsa-mangsa banjir.
Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri yang telah pun meluluskan segera peruntukan RM50 juta ke negeri Johor. Akan tetapi saya cadangkan naik ke RM100 juta kerana keadaan banjir pada kali ini adalah amat teruk sama sekali...
[Tepuk] Saya telah mendengar dan meneliti kandungan ucapan pembentangan Belanjawan 2023, dan mendapati keseluruhan Belanjawan 2023 ini yang ditawarkan oleh Kerajaan campuran PH-BN masih belum dapat menggarap secara komprehensif arah tuju yang jelas bagi memulihkan semula ekonomi negara secara yang lebih berkesan.
Saya membuat perbandingan Tuan Yang di-Pertua, belanjawan Yang Amat Berhormat Tambun dengan manifesto Pakatan Harapan, terdapat banyak janji dalam manifesto PH yang tidak ditepati ataupun tidak disentuh langsung dalam belanjawan ini.
Cukuplah jika saya sebutkan yang utama sahaja iaitu pertama dana peruntukan kawasan sama rata pada semua Wakil Rakyat, tidak ada, *yilek...
[Tepuk]* Kedua, komitmen kerajaan untuk menghapuskan kartel dalam sektor bahan makanan dan keperluan asas bagi membasmi kegiatan kaut keuntungan melampau, *yilek...
[Tepuk]* Minta maaf...
[Ketawa] Ketiganya, janji-janji dalam bidang pendidikan seperti program pemansuhan hutang bersasar khas pada golongan miskin dan isi rumah B40 pun tidak ada.
Memperkenalkan Biasiswa B40 dan menambah peruntukan program sarapan percuma, yilek. Tidak ada juga. Ini semua tidak disentuh dalam ucapan pembentangan. Mungkin kerana ini tidak penting bagi Yang Amat Berhormat Tambun.
Tan Sri Dato’ Haji Mahiaddin bin Haji Md Yassin - Pagoh
Saya hendak bertanya, adakah berani Yang Amat Berhormat Tambun mengakui bahawa janji-janji manifesto PH sekadar retorik sahaja?...
[Tepuk] Bagaimana pula dengan janji-janji manifesto....
Tuan Sim Tze Tzin - Bayan Baru
Mohon penjelasan, Yang Berhormat Pagoh.
Tan Sri Dato’ Haji Mahiaddin bin Haji Md Yassin - Pagoh
...Parti-parti lain dalam Kerajaan Campuran...?
Tuan Sim Tze Tzin - Bayan Baru
Yang Berhormat Pagoh. Mohon penjelasan.
Tan Sri Dato’ Haji Mahiaddin bin Haji Md Yassin - Pagoh
Minta maaf Tuan Yang di-Pertua, saya terpaksa bergegas mahu balik ke Pagoh.
Tuan Sim Tze Tzin - Bayan Baru
Ada fakta yang tidak betul, Yang Berhormat Pagoh.
Tan Sri Dato’ Haji Mahiaddin bin Haji Md Yassin - Pagoh
...Ini kerana kawasan saya sudah tenggelam dinaiki air.
Tuan Sim Tze Tzin - Bayan Baru
Betul. Betul, Yang Berhormat Pagoh. Akan tetapi ada fakta tidak betul. Fakta tidak betul, perlu penjelasan.
Tan Sri Dato’ Haji Mahiaddin bin Haji Md Yassin - Pagoh
Jadi, saya tidak mahu pencelahan.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Yang Berhormat Bayan Baru, sila duduk.
Tuan Haji Mohd Hasnizan bin Harun - Hulu Selangor
Duduklah, orang tidak bagi.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Sila duduk.
Tan Sri Dato’ Haji Mahiaddin bin Haji Md Yassin - Pagoh
Ini termasuk Barisan Nasional Tuan Yang di-Pertua, yang memperkenalkan dalam manifestonya Skim Bantuan Pendapatan Asas di mana kerajaan dikatakan akan mengkreditkan top up secara automatik ke dalam akaun semua isi rumah yang mempunyai pendapatan kurang daripada RM2,208. Itu ada dalam manifesto. Mungkin tidak digunakan lagi sekarang ini.
Tuan Yang di-Pertua, bagaimana rakyat hendak berdepan dengan situasi perbelanjaan yang berganda menjelang pembukaan semula sekolah, ketibaan bulan puasa, persediaan menghadapi Aidilfitri yang semakin hampir? Semua ini terpaksa dilalui rakyat dalam keadaan beban kos sara hidup yang terus meningkat dan kadar inflasi yang tinggi. Kita tidak dengar pun apakah penyelesaian yang sebenar kepada masalah kos sara hidup rakyat daripada pembentangan belanjawan ini.
Ini ialah suatu yang amat malang kerana harapan rakyat kepada kerajaan yang paling utama ialah supaya kerajaan segera menyelesaikan masalah kos sara hidup yang kian meningkat ini dan sepatutnya menjadi keutamaan nombor satu Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Tambun dan juga kerajaan. Akan tetapi, Yang Amat Berhormat Tambun nampaknya mengambil sikap acuh tidak acuh sahaja dalam hendak menyelesaikan masalah kos sara hidup rakyat.
Saya dimaklumkan umpamanya, Mesyuarat Majlis Tindakan Kos Sara Hidup
(NACCOL), akhir sekali mesyuarat pada 13 Disember.
[Tepuk] Tidak ada mesyuarat sampai sekarang Tuan Yang di-Pertua. Kalau serius, mesyuarat dua minggu sekali. Itu menunjukkan ada keseriusan. Ini tidak ada. Jadi rakyat menunggu, tidak ada jawapan.
Tuan Yang di-Pertua, mengenai dasar fiskal negara, menurut laporan Tinjauan Ekonomi dan Fiskal dan Anggaran Hasil yang terkini, sebahagian besar kutipan hasil digunakan untuk perbelanjaan mengurus (operating expenditure) dengan peruntukan yang terbesar diberikan kepada emolumen, diikuti peruntukan persaraan, geran kepada badan berkanun negeri-negeri dan lain-lain lagi. Perbelanjaan mengurus yang menggunakan 99 peratus daripada hasil Kerajaan Pusat seperti dalam belanjawan yang
Tan Sri Dato’ Haji Mahiaddin bin Haji Md Yassin - Pagoh
dibentangkan oleh Yang Amat Berhormat Tambun ialah tanda kesihatan fiskal yang terhad dan membimbangkan. Tambahan lagi, dasar mengenai konsolidasi belanjawan untuk mengurangkan defisit kepada 3.2 peratus daripada KDNK menjelang 2025 adalah kurang realistik dalam keadaan negara masih dalam proses pemulihan ekonomi dan rakyat masih memerlukan bantuan kerajaan.
Selain itu, situasi geopolitik semasa yang menyebabkan ketidaktentuan harga minyak turut memberikan kesan yang negatif kepada pendapatan negara, termasuk mengehadkan kadar bantuan kepada rakyat. Justeru, langkah-langkah yang lebih realistik mesti diambil untuk menambah kutipan hasil negara tanpa membebankan rakyat. Saya bimbang, sekiranya keadaan ekonomi kita tidak bertambah baik, malahan merosot, bukan sahaja bantuan kepada rakyat terpaksa dikurangkan, malahan kerajaan juga terpaksa berhutang untuk menampung perbelanjaan mengurus.
Tuan Yang di-Pertua, mengenai subsidi bersasar, dalam ucapan belanjawan Yang Amat Berhormat Tambun, didapati jumlah subsidi dikurangkan daripada RM80 bilion kepada RM64 bilion pada tahun 2023. Persoalan saya, adakah kerajaan telah pun menilai dan mengenal pasti kesan terhadap pengurangan ini? Hal ini adalah kerana pengurangan jumlah subsidi boleh menyebabkan kenaikan kadar inflasi yang mendadak pada tahun ini.
Rata-rata rakyat yang tidak berkemampuan masih sengsara untuk meletakkan makanan di atas meja mereka.
Subsidi Tuan Yang di-Pertua, merupakan bantuan kewangan. Bukannya satu bentuk insentif kerajaan. Kita mahu supaya subsidi kerajaan memberikan manfaat kepada mereka yang benar-benar memerlukan. Sementara golongan yang berkemampuan pula, dapat sama-sama menyumbang kepada kebajikan masyarakat dan kemajuan ekonomi negara.
Oleh itu kadar produktiviti memainkan peranan penting dalam penentuan pengeluaran subsidi untuk mengelakkan sebarang ketirisan dan pembaziran dalam perbelanjaan kerajaan. Sebagai contoh, semua kos bahan input dalam rantai pengeluaran perlulah berdasarkan peningkatan kadar produktiviti dan selain itu, kerajaan perlu mewujudkan mekanisme untuk memastikan peningkatan daya pengeluaran di negara ini.
Malahan Yang Amat Berhormat Tambun, dalam belanjawan menyebut tentang iltizam kerajaan hari ini untuk mengambil pendekatan yang progresif dalam konteks subsidi bersasar. Namun saya melihat masih tiada mekanisme yang kukuh dalam aspek pelaksanaannya. Kerajaan hari ini tidak membuat saringan had subsidi mengikut kategori pendapatan T20, M40, B40 seperti mana yang telah pun dilaksanakan oleh kerajaan sebelum ini.
Bukan itu sahaja, klasifikasi subsidi haruslah disemak semula secara teliti untuk mengurangkan bebanan fiskal negara. Misalnya, subsidi terhadap bahan input seperti baja, bolehlah dikekalkan. Namun subsidi menyeluruh terhadap output seperti bahan api, haruslah diselaraskan dengan harga semasa global. Seperti yang saya telah nyatakan sebelum ini, ia mestilah mengikut formula produktiviti bagi setiap kos bahan input kepada output.
Tuan Yang di-Pertua, mengenai caruman KWSP. Belanjawan turut diumumkan cadangan untuk mengkreditkan RM500 ke Akaun 1 pencarum KWSP yang berusia antara 40 tahun sehingga 54 tahun yang mempunyai simpanan kurang daripada RM10,000. Ini telah melibatkan peruntukan sebanyak RM1 bilion. Tidak perlu saya hendak bercakap panjang kerana pada masa yang lalu, Yang Berhormat Ayer Hitam ketika membahaskan ucapan belanjawan ini telah pun mengulas dengan panjang lebar tentang pemberian ini yang nyata dikatakan indah khabar daripada rupa.
Hakikatnya, bantuan KWSP yang diumumkan oleh Yang Amat Berhormat Tambun, hanya untuk segelintir pencarum iaitu kumpulan 40 tahun hingga 54 tahun sahaja. Sedangkan hampir 53 peratus penyumbang caruman yang aktif tidak mendapat manfaat daripada pemberian ini. Golongan pencarum yang berumur di bawah usia 40 tahun, dinafikan hak mereka untuk mendapat bantuan yang sama.
Sebenarnya Tuan Yang di-Pertua, pencarum tidak mohon suntikan RM1 bilion ini.
Mereka hanya mohon untuk KWSP mereka dibenarkan untuk dikeluarkan secara
Tan Sri Dato’ Haji Mahiaddin bin Haji Md Yassin - Pagoh
bersasar.
[Tepuk] Kalau itu diluluskan, kerajaan boleh menyelamatkan RM1 bilion dan bolehlah beri kepada kawasan-kawasan yang menghadapi banjir yang teruk hari ini untuk digunakan menyelamatkan para mangsa yang ada di sini.
Seperti yang telah saya tegaskan dalam ucapan perbahasan Titah Diraja dalam Dewan yang mulia ini, dasar mengenai bumiputera mesti menjadi keutamaan kerajaan...
[Tepuk] dan tidak boleh di kompromi Tuan Yang di-Pertua sama sekali. Berdasarkan jawapan Yang Berhormat Papar pada 23 Februari yang lalu, nampaknya kerajaan mengambil pendekatan yang agak terburu-buru dalam menggantikan dasar Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 dengan konsep baharu Malaysia Madani yang masih belum jelas perancangannya. Harus diingatkan bahawa WKB 2030 telah disepakati untuk menjadi tunggak wawasan negara sehingga tahun 2030, malah sudah pun termaktub dalam dokumen RMKe-12 yang telah juga diluluskan di Dewan yang mulia ini.
Agenda bumiputera sebenarnya telah diberikan penekanan khusus dalam dasar Wawasan Kemakmuran Bersama sebagai kesinambungan daripada dasar-dasar kerajaan yang terdahulu seperti Dasar Ekonomi Baru, Dasar Pembangunan Nasional dan sebagainya. Di bawah gagasan besar WKB 2030 ini, Majlis Tindakan Kemakmuran Bersama telah pun ditubuhkan yang berfungsi sebagai sebuah mekanisme pemantauan di peringkat tertinggi untuk memastikan semua sasaran golongan bumiputera dapat dicapai. Sebaliknya sehingga kini, saya tidak melihat pun agenda ini disebut secara jelas dalam dasar Malaysia Madani mahupun dalam mana-mana komitmen kerajaan campuran yang ada pada hari ini.
Tan Sri Dato’ Haji Mahiaddin bin Haji Md Yassin - Pagoh
Justeru dalam hal ini, kerajaan perlu menjelaskan secara terperinci Tuan Yang di- Pertua tentang kedudukan dasar dan agenda Bumiputera dan Dasar Pembangunan Negara. Kajian impak berkaitan dengan status pencapaian syarikat Bumiputera dalam pelbagai bidang ekonomi telah dibantu serta menerima manfaat dari pakej dan inisiatif kerajaan perlulah dibentangkan dan ia amat penting bagi melihat sejauh mana dasar- dasar yang berkaitan benar-benar memberikan manfaat kepada golongan Bumiputera.
Ini termasuk memperincikan pelan tindakan jangka pendek, sederhana dan panjang yang telah, sedang dan akan diambil oleh pihak kerajaan serta mekanisme pemantauan selaras dengan Tindakan Pembangunan Bumiputera 2030 yang telah pun diumumkan oleh kerajaan sebelum ini.
Seperkara lagi yang saya ingin sentuh ialah mengenai Yayasan Pelaburan Bumiputera, Yayasan Amanah Hartanah Bumiputera, Yayasan Ekuiti Nasional yang hendak disatukan ini. Saya ingin bertanya, adakah kerajaan telah menimbangkan dengan sebaik-baiknya keputusan ini. Ini kerana ketiga-tiga entiti ini berfungsi yang berbeza dalam meningkatkan taraf sosioekonomi masyarakat Bumiputera daripada segi pemilikan, wang simpanan, hartanah dan ekuiti.
Tidakkah penggabungan ketiga-tiga entiti ini akan menyebabkan fungsi setiap entiti tersebut luntur dan seterusnya menjejaskan pencapaian sasaran pemilikan kekayaan untuk Bumiputera. Bagaimanakah pula dengan kedudukan dana yang dimiliki oleh ketiga-tiga entiti ini apabila disatukan? Apakah langkah-langkah baru yang ingin diambil untuk meningkatkan lagi pencapaian ekonomi Bumiputera menerusi penggabungan ketiga-tiga entiti ini? Saya minta supaya Yang Amat Berhormat Tambun memberikan penjelasan yang lebih terperinci mengenai perkara-perkara yang saya sebutkan ini.
Tuan Yang di-Pertua, saya agak kecewa kerana inisiatif pelupusan hutang RM8.3 bilion peneroka FELDA oleh Kerajaan Perikatan Nasional dahulu tidak diteruskan oleh kerajaan hari ini atas alasan, ia memberi kesan kepada aliran tunai FELDA katanya. Saya tidak fikir Tuan Yang di-Pertua inisiatif pelupusan hutang yang dilaksanakan oleh Kerajaan Perikatan Nasional dahulu memberikan kesan besar kepada aliran tunai FELDA. Ini kerana hutang-hutang ini Tuan Yang di-Pertua adalah hutang-hutang yang lapuk. Apabila tidak berbayar tidak ada cash flow dahulu pun. Jadi di samping FELDA juga telah menerbitkan [Tepuk] , sukuk RM9.9 bilion yang kita jamin di waktu kita menjadi kerajaan
Tan Sri Dato’ Haji Mahiaddin bin Haji Md Yassin - Pagoh
dahulu, ini masih ada. Jadi kalau ini tidak dapat hasilnya, ada aliran tunai daripada sukuk yang telah pun diluluskan untuk digunakan.
Jadi, saya tidak dapat faham kenapa sebahagian daripada peneroka FELDA ini telah pun dihapuskan hutang tetapi kalau sekarang dia kata tidak boleh dihapuskan, ada lagi yang tidak diselesaikan, kan menjadi aniaya itu Tuan Yang di-Pertua? Betul tidak?
[Ketawa]
Seorang Ahli
Tuan Yang di-Pertua senyum.
Tan Sri Dato’ Haji Mahiaddin bin Haji Md Yassin - Pagoh
Tuan Yang di- Pertua, Belanjawan 2023 juga langsung tidak menyentuh tentang soal-soal lain berkenaan dengan masalah peneroka FELDA seperti rumah generasi kedua, ketiga dan sebagainya dan masalah-masalah lain, itu tidak disebut langsung mungkin kerana dalam PRU-15 hampir sebahagian besar daripada pengundi di FELDA menyokong Perikatan Nasional.
[Tepuk] Akan tetapi, saya hendak ingatkan jangan aniaya mereka. Mereka manusia.
Mereka hendak hidup. Keadaan mereka susah, apalah buat hal-hal sebegini Tuan Yang di-Pertua.
[Tepuk] Jadi Tuan Yang di-Pertua, sebagai pembangkang, saya hendak menyatakan kita kekal dengan prinsip kita untuk memainkan peranan semak dan imbang secara konstruktif. Tahniah kepada Ahli-ahli Yang Berhormat PN di sini yang agak begitu cergas menyuarakan segala masalah daripada rakyat kita dalam Dewan yang mulia ini.
Saya berharap pihak kerajaan akan juga memperhalusi perkara-perkara yang telah dibangkitkan oleh Ahli-ahli Parlimen Perikatan Nasional di sepanjang sesi perbahasan Belanjawan 2023 ini.
Bukan bersikap pilih kasih Tuan Yang di-Pertua ataupun dendam kesumat Tuan Yang di-Pertua, mencari salah secara terancang ataupun selective persecution Tuan Yang di-Pertua. Sikap dangkal sebegini perlu segeralah dihentikan. Ini bukanlah cara pentadbiran kerajaan seperti mana yang rakyat mahukan. Menjunjung prinsip “Prihatin, Bersih dan Stabil” kami menyokong dasar dan perancangan kerajaan yang baik dan memberikan manfaat sebenar kepada rakyat serta menolak mana-mana dasar yang memudaratkan rakyat. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
[Tepuk]
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Seterusnya saya jemput Yang Berhormat Sri Gading.
Tuan Haji Aminolhuda Hassan - Sri Gading
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam harapan, salam perpaduan. Terima kasih kepada Tuan Yang di- Pertua.
Pada pagi ini Sri Gading akan membawa beberapa perkara penting khususnya berkaitan dengan banjir yang melanda negeri Johor. Untuk makluman kepada Dewan, pada pagi ini sahaja PPS yang telah berdaftar dengan kementerian ataupun Jabatan Kebajikan Masyarakat berjumlah 269 dengan mangsa, 49,410 orang. Itu tidak termasuk PPS yang terpaksa dibuat oleh kawasan-kawasan ataupun penduduk yang memang tidak boleh keluar kerana sudah terkepung dengan air.
Jadi untuk apa yang saya nyatakan di sini, di Sri Gading sahaja PPS telah ada 25 buah PPS termasuk enam daripadanya adalah daripada PPS ataupun penduduk- penduduk di kawasan Parit Sulong. Apa yang kami mohon iaitu perkara-perkara penting dalam urusan banjir ini di mana banyak sangat ataupun beberapa perkara yang menjejaskan penduduk di mana kekurangan peralatan, sudah duduk, sudah pindah ke tempat-tempat yang ditentukan tetapi khemah lambat sampai. Kami mengharapkan supaya khemah, selimut dan juga keperluan-keperluan asas untuk mereka dapat berteduh, dapat berehat sangat diperlukan. Itu yang pertama.
Tuan Haji Aminolhuda Hassan - Sri Gading
Kedua, tentang pemakanan mangsa-mangsa banjir. Kami dapat laporan kerana saya dari hari Rabu, 1 Mac, telah turun ke kawasan Segamat, Labis dan kawasan saya sendiri iaitu di Sri Gading. Di mana kami dapati bahawa terlalu lambat berkaitan dengan pemakanan. Kalau boleh, makanan-makanan yang diuruskan oleh agensi ataupun oleh katering ini jangan terlalu banyak menerima tempahan ataupun pengarahan tetapi perbanyakan syarikat-syarikat katering yang boleh menguruskan untuk memasak makanan kepada mangsa banjir supaya mangsa banjir tidak kelaparan. Jadi itu antara perkara yang saya mengharapkan sangat supaya katering ini dapat diperbanyakkan.
Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong - Ayer Hitam
Minta penjelasan Yang Berhormat Sri Gading.
Tuan Haji Aminolhuda Hassan - Sri Gading
Silakan.
Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong - Ayer Hitam
Kami jiran ya. Saya ada 5,000 orang mangsa, dia pun lebih kurang 5,000 orang mangsa. Betul apa Yang Berhormat Sri Gading cakap itu. Minta kerajaan tengok balik. Nombor satu, kualiti makanan. Jangan hantar makanan basi, nasi tidak masak.
Kedua, minta tolong supaya percepatkan urusan ini. Ini kerana dahulu kita tidak ada masalah. Sejak tahun 2006, kita sudah berkali-kali menguruskan banjir tetapi kali ini disebabkan, kita tukar format. Kita minta supaya kontraktor jangan tertumpu kepada satu, pecah kepada semua. Kedua, menu kena – Saya tidak tahu berapa peruntukan yang diberikan kepada setiap mangsa, itu penting. Saya setuju dengan Yang Berhormat, barang-barang khemah lambat. Kami terpaksa cari, usaha ini cari tilam, cari tikar, cari semua kerana lambat sampai. Sudah tiga hari, orang kalau tidak ada selimut, itu jadi masalah. Minta supaya lihat balik keseriusan yang berlaku di kawasan kami ini. Terima kasih.
Tuan Haji Aminolhuda Hassan - Sri Gading
Okey, Yang Berhormat Ayer Hitam boleh masukkan sebahagian daripada ucapan itu dalam ucapan saya. Ini kerana apa yang kami bangkitkan sebenarnya bukan masalah kelambatan itu, yang pentingnya adalah keselamatan. Di mana penduduk-penduduk yang banjir ini mereka tidak boleh duduk dalam rumah sebab air semakin naik.
Kebetulan air yang datang dari Labis, Segamat baru sampai ke peringkat daerah Muar dan daerah Batu Pahat. Dua empangan yang terpaksa bukan kerana dilepaskan tetapi kerana sudah overflow, ia akan keluar secara automatik masuk ke sungai-sungai yang akan melalui Sungai Simpang Kiri dan Simpang Kanan yang melalui Parlimen Sri Gading, Parlimen Ayer Hitam dan juga Parlimen Parit Sulong.
Jadi, ini perkara yang sangat perlu kepada rakyat kerana ia memberikan satu kesan yang sangat negatif kerana kedudukan mereka berada di tepi ataupun di bahagian sungai yang berkenaan.
Tuan Haji Aminolhuda Hassan - Sri Gading
Saya menyokong cadangan daripada Yang Berhormat Pagoh walaupun ianya parti yang berlainan itu peruntukan kalau katakan Kelantan ataupun Terengganu yang terkesan banjir pada bulan Januari yang lepas diberikan RM50 juta setiap negeri, Johor pada hari ini kalau katakan 50,000 mangsa banjir, dengan RM50 juta hanya RM1,000 wang ihsan. Jadi, saya mengharapkan bukan RM100 juta, kalau lebih daripada itu untuk diperuntukkan kepada mangsa-mangsa banjir dan juga banjir yang ada pada hari ini.
[Tepuk] Seterusnya saya ingin menyatakan apa Yang Berhormat Pagoh nyatakan bahawa mana janji manifesto PH. Dulu PH dia kawan kita. Bila dia lari bentuk kerajaan PN dia pun tidak ada manifesto masa itu sebab kerajaan campuran. Hari ini kerajaan kami kerajaan PH dan juga BN. Jadi, kami akan duduk bincang bagaimana hendak menguruskan masalah rakyat. Bukan hendak fikirkan apa...
Tuan Haji Mohd Hasnizan bin Harun - Hulu Selangor
Lama sangat bincang itu.
Tuan Haji Aminolhuda Hassan - Sri Gading
Manifesto PH sahaja. BN pun ada manifesto, kerajaan Sabah dan Sarawak pun ada manifesto. Jadi kami akan susun, insya- Allah. Tengok apa yang telah dibuat menghapuskan muflis 2,600 orang yang bankruptcy.
Ini melibatkan rakyat khususnya orang Melayu dan anak-anak kita. Ini kerajaan yang prihatin kepada rakyat. Jangan kata kita tidak ada dana ataupun tidak ada perkara yang kita hendak buat untuk rakyat walaupun bukan daripada PH punya tetapi kami bergabung untuk mendapatkan satu pandangan yang terbaik.
Tuan Haji Mohd Misbahul Munir bin Masduki - Parit Buntar
Boleh bagi laluan Yang Berhormat Sri Gading.
Tuan Haji Aminolhuda Hassan - Sri Gading
Kedua, kita lihat tentang peningkatan belanjawan untuk pendidikan.
Tuan Haji Azli bin Yusof - Shah Alam
Yang Berhormat Sri Gading saya...
Tuan Haji Mohd Misbahul Munir bin Masduki - Parit Buntar
Yang Berhormat Sri Gading, Yang Berhormat Parit Buntar minta laluan boleh?
Tuan Haji Azli bin Yusof - Shah Alam
Yang Berhormat Sri Gading, Yang Berhormat Shah Alam.
Tuan Haji Aminolhuda Hassan - Sri Gading
Di mana pendidikan pada yang lepas 52.
Tuan Haji Mohd Misbahul Munir bin Masduki - Parit Buntar
Boleh atau tidak boleh?
Tuan Haji Aminolhuda Hassan - Sri Gading
Kita tahu pendidikan ini asas untuk rakyat berakhlak mulia, asas rakyat untuk dapat ilmu dinaikkan kepada RM55 bilion. Ini satu peningkatan untuk masa depan negara kita.
Tuan Haji Mohd Misbahul Munir bin Masduki - Parit Buntar
Yang Berhormat Sri Gading, Yang Berhormat Parit Buntar minta laluan.
Tuan Haji Aminolhuda Hassan - Sri Gading
Jadi jangan kata kita tidak ada satu masalah, satu perbelanjaan yang tidak nampak seolah-olahnya macam membiarkan pembangunan, negara pembangunan rakyat.
Tuan Haji Azli bin Yusof - Shah Alam
Yang Berhormat Sri Gading, Yang Berhormat Shah Alam mohon.
Tuan Haji Mohd Misbahul Munir bin Masduki - Parit Buntar
Yang Berhormat Parit Buntar juga minta laluan.
Tuan Haji Aminolhuda Hassan - Sri Gading
Ketiga, saya ingin mengingatkan bahawa apa yang penting kepada kita pada hari ini. Kalau dulu Yang di-Pertuan Agong perintahkan supaya sama-sama duduk bentuk satu kerajaan, yang tak hendak siapa?
Yang Berhormat Pagoh yang tak nak. Bukan orang lain.
[Tepuk]
Tuan Mohd Sany bin Hamzan - Hulu Langat
[Berucap tanpa menggunakan pembesar suara] [Tepuk] Ya, Yang Berhormat Pagoh tak nak.
Tuan Haji Aminolhuda Hassan - Sri Gading
Yang Berhormat Pagoh yang kata no, tak nak.
Tuan Mohd Sany bin Hamzan - Hulu Langat
[Berucap tanpa menggunakan pembesar suara] PN tak nak. Yang Berhormat Parit Buntar tak nak.
Tuan Haji Aminolhuda Hassan - Sri Gading
Akan tetapi hari ini, dah cakap macam-macam.
Tuan Haji Azli bin Yusof - Shah Alam
Yang Berhormat Sri Gading, Yang Berhormat Shah Alam mohon penjelasan.
Tuan Haji Mohd Misbahul Munir bin Masduki - Parit Buntar
Yang Berhormat Sri Gading, Yang Berhormat Parit Buntar pun mohon laluan.
Tuan Haji Aminolhuda Hassan - Sri Gading
Saya akan masukkan perkara yang berkaitan dengan apa yang saya hendak bawakan itu. Saya terpaksa jawab sebab dia pun sama-sama Johor, sama-sama dulu dengan kita.
Tuan Mohd Sany bin Hamzan - Hulu Langat
[Berucap tanpa menggunakan pembesar suara] Jawab, jawab Yang Berhormat Sri Gading, jawab.
Tuan Haji Mohd Misbahul Munir bin Masduki - Parit Buntar
Yang Berhormat Parit Buntar minta laluan boleh?
Tuan Haji Aminolhuda Hassan - Sri Gading
Okey.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Yang Berhormat Sri Gading, hendak beri laluan tak?
Tuan Haji Aminolhuda Hassan - Sri Gading
Perkara yang utama, saya minta maaf sebab masa tinggal dua minit. Jadi...
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Sila duduk.
Tuan Haji Aminolhuda Hassan - Sri Gading
Perkara yang penting pada saya iaitu tentang guru.
Tuan Haji Mohd Misbahul Munir bin Masduki - Parit Buntar
Yang Berhormat Shah Alam pun duduk.
Tuan Haji Aminolhuda Hassan - Sri Gading
Saya sangat mengharapkan supaya kerajaan memberikan penghargaan...
Tuan Haji Mohd Misbahul Munir bin Masduki - Parit Buntar
Sibuk Hulu Langat ini.
Tuan Haji Aminolhuda Hassan - Sri Gading
Kalau katakan kita berikan penghargaan kepada mereka yang pergi ke luar negara membantu mangsa-mangsa gempa kenapa tidak berikan penghargaan kepada mereka yang pada hari ini bertungkus- lumus dalam negeri sendiri, dalam negara kita sendiri untuk berdepan dengan mangsa banjir.
[Tepuk] Guru yang bercuti sekarang ini terpaksa duduk siang malam di pusat perpindahan. Bukan sekadar guru, bomba, polis, tentera, JKM...
Tuan Haji Mohd Misbahul Munir bin Masduki - Parit Buntar
Jabatan Amal.
Tuan Haji Aminolhuda Hassan - Sri Gading
Jabatan Am dan lain-lain. Saya harap mereka juga termasuk...
Tuan Haji Mohd Misbahul Munir bin Masduki - Parit Buntar
Amal, amal.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Yang Berhormat Parit Buntar.
Tuan Haji Aminolhuda Hassan - Sri Gading
Dalam kalangan mereka yang diberikan sumbangan bajet oleh kerajaan.
Tuan Haji Mohd Misbahul Munir bin Masduki - Parit Buntar
Sebutlah Jabatan Amal.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Yang Berhormat Parit Buntar.
Tuan Haji Aminolhuda Hassan - Sri Gading
Oleh sebab masa dah lepas, minta maaf sahabat saya Yang Berhormat Parit Buntar. Bukan saya tak nak bagi...
Tuan Haji Mohd Misbahul Munir bin Masduki - Parit Buntar
Boleh ke?
Tuan Haji Aminolhuda Hassan - Sri Gading
Akan tetapi oleh sebab – tidak bagilah, tidak ada masa lagi ini.
Tuan Haji Mohd Misbahul Munir bin Masduki - Parit Buntar
Lah ingatkan nak bagi tadi.
Tuan Haji Aminolhuda Hassan - Sri Gading
Hendak sebut tentang banjir juga ini. Saya mengharapkan supaya ada insurans kepada petani-petani khususnya petani- petani dan pekebun-pekebun kecil yang dilanda banjir. Sebagai contoh, ada petani yang enam ekar tanam pokok pisang, buah dah hendak harvest tiba-tiba dilanda banjir, kerugian hampir RM40,000. Orang kampung modal RM40,000, dah nak harvest tiba-tiba kena banjir. Jadi, saya mengharapkan sebab itu kami barisan Kerajaan Perpaduan memohon supaya bantuan kepada mangsa-mangsa banjir ini dipertingkatkan bukan RM50 juta tetapi RM150 juta untuk membantu kepada mereka juga yang terkesan kerana banjir ini.
Tuan Yang di-Pertua, antara perkara yang saya hendak sebut juga tentang guru.
Oleh sebab guru tadi terlibat dalam keadaan yang sangat terdesak, Sri Gading mencadangkan supaya ada jawatan-jawatan pembantu guru dalam bidang-bidang tertentu untuk meringankan tugas guru. Guru sebenarnya terlalu berat dengan tanggungjawab. Saya Sri Gading mencadangkan iaitu guru yang berkaitan dengan warden di , kalau boleh kita lantikan Pegawai Penolong Pentadbir N19 untuk menjadi pengurus yang menguruskan berkaitan dengan warden asrama sebab asrama ini kalau guru yang bertugas siang, malam sampai ke pagi hendak tengok anak murid. Kalau ada warden yang ditugaskan dengan khas insya-Allah guru boleh fokus untuk kerja dia dan untuk mengajar. Itulah tugas hakiki kepada seorang guru.
Oleh sebab masa telah terlebih, sebenarnya ada empat, lima lagi hujah. Oleh sebab [Disampuk] Cakap sahaja. Akan tetapi tidak apalah. Saya memahami suasana pada hari ini. Saya terpaksa balik semula ke kawasan kerana kawasan saya ada 25 PPS yang perlu saya tengok.
[Tepuk] Saya tidak mahu sebagai wakil rakyat saya tinggalkan rakyat saya dalam keadaan derita, saya tidak mahu pergi jalan jauh, saya hendak tengok mereka dan bersama-sama mereka menghayati...
Tuan Jimmy Puah Wee Tse - Tebrau
Hebat Yang Berhormat Sri Gading.
Tuan Mohd Sany bin Hamzan - Hulu Langat
Hidup Yang Berhormat Sri Gading! Hidup Yang Berhormat Sri Gading!
Tuan Jimmy Puah Wee Tse - Tebrau
Hebat, hebat. Hebat orang Johor.
Tuan Haji Aminolhuda Hassan - Sri Gading
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Tuan Haji Mohd Misbahul Munir bin Masduki - Parit Buntar
Ajak Yang Berhormat Hulu Langat pergi sekali itu, Hulu Langat. Buat sibuk dekat Dewan, pergi bantu Johor itu.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Yang Berhormat Parit Buntar jangan berucap tanpa approval.
[Dewan riuh]
Seorang Ahli
[Berucap tanpa menggunakan pembesar suara] Ha, tengok.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Saya jemput Yang Berhormat Kepala Batas.
Tuan Haji Mohd Misbahul Munir bin Masduki - Parit Buntar
Yang Berhormat Hulu Langat sama juga.
Dr. Siti Mastura binti Muhammad - Kepala Batas
*Bismillahir rahmanir rahim.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.* Terima kasih saya ucapkan kepada Tuan Yang di-Pertua di atas peluang yang diberikan kepada saya untuk menyertai perbahasan belanjawan pada kali ini. Pertamanya saya turut bersimpati kepada saudara-saudara kita yang ditimpa ujian banjir hasbunallah wanikmal wakil nikmal maula wanikman nasir, mohon izin.
Dr. Siti Mastura binti Muhammad - Kepala Batas
Saya setuju dengan apa yang diperkatakan oleh Yang Berhormat Pagoh sebentar tadi dan juga Yang Berhormat diperingkat Yang Berhormat Sri Gading dan juga Yang Berhormat Ayer Hitam berkaitan penambahan bajet untuk mereka yang ditimpa musibah.
Perkara ini bukan hanya berlaku pada hari ini tetapi telah berlaku dan banyaknya berlaku di Kelantan dan juga Terengganu.
Tuan Yang di-Pertua, Kepala Batas menyambut baik pembentangan belanjawan yang telah dibentangkan oleh Yang Amat Berhormat Tambun baru-baru ini. Di sini ada beberapa perkara yang ingin saya berikan perhatian kepada Yang Amat Berhormat Tambun serta barisan Menteri-menteri lain berkaitan perkara berikut.
Pertama, dengan mohon izin perkataan burn-out bukan sahaja berlaku dalam kalangan para doktor tetapi bahkan berlaku dalam kakitangan sokongan seperti pembantu perubatan dan pemandu ambulans. Jadi, saya melihat perkara ini saya fokuskan di Hospital Kepala Batas di mana bukan sahaja memberi khidmat kesihatan kepada rakyat Kepala Batas malah perkhidmatan ini kepada seluruh Seberang Perai Utara termasuklah merangkumi Parlimen Tasek Gelugor.
Status kekurangan Pembantu Pegawai Perubatan (PPP) adalah sangat kritikal.
Mengikut pelan tindakan pembangunan jumlah PPP Jabatan Kesihatan berpakar minor sepatutnya 60 orang tetapi buat masa ini hanyalah 20 orang. Kawasan saringan sepatutnya satu PPP di bahagian primary dan secondary tetapi hanya seorang sahaja di bahagian saringan. Pesakit terpaksa menunggu lama di bilik rawatan untuk jahitan luka, balutan dan hanya satu PPP sahaja yang bertugas di kawasan tersebut. Tidak ada petugas untuk asthma bay, zon merah hanya satu PPP, zon SARI terpaksa ditutup kerana tiada PPP mencukupi, zon COVID-19 tiada PPP dan semua ini menyebabkan jadual syif yang ada pada waktu pagi, petang dan malam dengan kekuatan 20 orang terpaksa untuk cover ataupun menjaga lapan kawasan yang perlu di jaga.
Justeru, sudah bertahun isu PPP ini terpaksa melaksanakan tugas secara dwi tugas seperti bekerja dua syif sehingga ke tahap sebanyak tiga ke empat kali seminggu untuk menampung kekurangan staf ini. Jadi, isu ini saya melihat satu surat permohonan daripada Hospital Kepala Batas telah diberikan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia dan saya mohon supaya surat ini dilihat semula disebabkan keperluan ini sangat kritikal terutama di peringkat Hospital Kepala Batas.
Justeru, saya mohon kepada Yang Amat Berhormat Tambun untuk meluluskan penambahan kakitangan di Hospital Kepala Batas ini disegerakan bagi memastikan rakyat merasai keberadaan konsep madani yang diuar-uarkan.
Dr. Siti Mastura binti Muhammad - Kepala Batas
Tuan Yang di-Pertua, perkara yang kedua. Sebelum ini, Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) pada tahun 2021 telah melaksanakan projek Denai Sungai Kebangsaan iaitu yang melibatkan Sungai Permatang Bendahari di Penaga di Parlimen Kepala Batas. Sungai ini merupakan salah satu buah sungai yang dipilih untuk memperbanyakkan denai untuk aktiviti Kutip Sampah Sambil Beriadah (KUDAH) dan ini merupakan salah satu inisiatif ataupun usaha untuk menangani masalah kebersihan di sepanjang sungai dan juga membendung isu penagihan dadah yang menjadi isu penagih warisan. Walau bagaimanapun, kita melihat projek ini juga membantu pertumbuhan ekonomi ibu-ibu tunggal yang rata-ratanya yang berada di kawasan sekitar. Saya mohon pertimbangan ini dilihat oleh Yang Berhormat Menteri yang berkaitan.
Seterusnya, saya menyokong apa yang disebut oleh Yang Berhormat Tasek Gelugor sebelum ini yang membangkitkan isu Sungai Kereh, Kampung Selamat supaya tindakan ini masih lagi tidak ada tindakan yang segera di mana pencemaran bau najis babi yang turut memberikan kesan kepada penduduk Kepala Batas. Hingga ke hari ini, ada kawasan-kawasan perumahan yang dibina di kawasan Kepala Batas terutama di kawasan Bertam tercemarnya, berlakunya pencemaran bau disebabkan isu pencemaran najis babi ini. Perkara ini lebih 40 tahun. Saya sebut sebelum ini, lebih daripada 40 tahun telah berlaku dan seolah-olah tidak ada tindakan yang dilaksanakan. “Menang sorak, kampung tergadai”. Apakah enakmen ternakan babi dan garis panduan yang dibuat bagi mengawal selia isu yang berlaku ini?
Dr. Siti Mastura binti Muhammad - Kepala Batas
Seterusnya, saya sependapat dengan Yang Berhormat Kota Melaka sebelum ini ada menyatakan bahawa projek penambakan laut menyebabkan kesan yang sangat negatif kepada industri perikanan, nelayan yang berlesen, industri pelancongan dan hidupan akuakultur. Oleh sebab itu, saya melihat, Kepala Batas melihat, membantah aktiviti penambakan laut di Kepala Batas. Ini sangat tidak madani. Sebab apa? Di Pulau Pinang sekarang ini terdapat beberapa buah projek pesta tambak laut yang sedang diusahakan oleh kerajaan negeri.
Salah satunya adalah Penang South Reclamation yang dijenamakan semula dengan izin, Penang South Islands (PSI). Maka, kalau kita lihat di bawah Perikatan Nasional sebelum ini, Kementerian Alam Sekitar dan Air yang dipimpin oleh Yang Berhormat Kubang Kerian telah mengambil tanggungjawab untuk menilai semula projek ini. Ini disebabkan kegagalan projek ini memenuhi syarat yang ditetapkan oleh Kajian Impak Alam Sekitar (EIA) dan bakal terhapusnya perkampungan orang Melayu di sana seperti Kampung Permatang Damar Laut, Kampung Permatang Tepi Laut dan juga berlakunya bantahan yang masih kekal oleh Persatuan Nelayan Negeri Pulau Pinang
(Pen Mutiara) sehingga sekarang untuk menolak projek ini. Maka, jika ini berlaku, apakah yang akan berlaku kepada perkampungan Melayu khususnya di Pulau Pinang?
Kepimpinan Sayidina Umar bin Abdul Aziz sentiasa menjaga kepentingan rakyat dan tidak sanggup melihat rakyat dihimpit kesusahan. Alangkah baiknya jika bajet yang disediakan ini menambah kualiti kehidupan rakyat di Pulau Pinang seperti pembersihan sungai, sistem perparitan, menambah pembinaan perumahan PPR, rent-to-own dan membantu mengurangkan kos sara hidup bagi B40 dan M40.
Tuan Yang di-Pertua, perkara yang ketiga. Saya berpendapat bahawa para graduan TVET mesti dibuka peluang untuk berada dalam pasaran yang mencabar sebagaimana ikhtiar keenam kerajaan iaitu memperkasa kerjasama awam swasta. Sudah tiba masanya untuk kerajaan memperkenalkan polisi wajib pengambilan graduan TVET sebagai sebahagian daripada syarat untuk pelabur asing di samping pelabur tempatan untuk melabur dalam negara ini.
Kita melihat sebanyak RM50 juta yang dirancang untuk melatih para graduan ini adalah untuk membantu bagi memastikan anak tempatan berbakti dan memakmurkan negara. Bak kata Yang Berhormat Muar sebelum ini, we have to reform the system, mohon izin. Tetapkan gaji yang selayaknya untuk mereka, insya-Allah, saya percaya mereka akan bersama-sama membangunkan Malaysia sejahtera yang kita cintai ini.
Seharusnya pendidikan TVET ini kita melihat untuk bermula pada Tingkatan 1.
Isu remaja berisiko, terlibat dengan isu sosial dan juga jenayah dapat dikurangkan kerana mereka daripada golongan yang tercicir. Rata-rata daripada mereka kreatif dan berkemahiran, cuma tidak diberikan peluang untuk menerokai bidang kemahiran yang mereka ingini.
Tuan Yang di-Pertua, wanita adalah tunjang pembangunan negara. Wanita yang berilmu dapat menjadi pemangkin pembinaan ummah. Sebagaimana Saidatina Aisyah RA menjadi penyambung dalam perjuangan Rasulullah SAW. Bak kata pepatah, “Tangan yang mengayun buaian, mampu menggegarkan dunia”. Kes ibu tunggal yang teraniaya serta isu remaja berisiko disebabkan masalah perceraian ibu ayah, kewangan dan tidak minat ke sekolah banyak dilaporkan di Kepala Batas, khususnya. Maka, ceritanya mudah. Suami ambil hutang ah long, tinggalkan isteri, tinggalkan anak-anak, maka isteri terpaksa menanggung hutang ah long tersebut. Justeru, saya memohon agar satu dana perkhidmatan khas dapat disediakan bagi membantu mereka yang terkesan untuk memulakan hidup baharu serta dilepaskan daripada hutang warisan ini.
Ketika Yang Berhormat Bagan Serai menjadi Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) sebelum ini, beliau telah memperkenalkan agenda Lelaki Qawwam iaitu program pemerkasaan lelaki sebagai khalifah. Saya mencadangkan agar program ini diteliti dan diteruskan kerana ia melibatkan penerapan nilai rohani dan jati diri di mana seorang lelaki adalah punca kuasa bagi keluarga yang sejahtera.
Dr. Siti Mastura binti Muhammad - Kepala Batas
Justeru Tuan Yang di-Pertua, pembangunan negara mestilah seimbang antara kerohanian dan material demi menjaga maqasid rakyat. Pepatah Inggeris ada mengatakan, “Rome was not built in a day, but it needs only seconds to collapse”, dengan izin. Justeru, kesejahteraan negara memakan masa untuk dipupuk, namun ia boleh musnah dalam sekelip masa. Mohon izin satu minit Tuan Yang di-Pertua.
Justeru, prinsip sederhana, inilah yang membawa kepada negara menjadi negara yang sejahtera.
Andai Muar mudik ke Arau, Singgah sebentar di Jasin, Melaka, Andai rintih rakyat tidak dihirau, Kerajaan tiris rakyat yang sengsara. Kepala Batas menyokong dasar perbelanjaan yang prihatin, bersih dan stabil.
*Wallahualam.
[Tepuk]*
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Saya jemput Yang Berhormat Cheras.
Tuan Tan Kok Wai - Cheras
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Belanjawan 2023 menggariskan agenda dan strategi Kerajaan Perpaduan bagi setahun fiskal. Satu belanjawan yang dirancang dengan baik adalah teramat penting bagi kerajaan untuk memastikan kestabilan dan pertumbuhan ekonomi kerana daya ketahanan dan pembangunan ekonomi sangat penting bagi sesebuah negara.
Tidak dapat dinafikan bahawa kita sedang menghadapi suatu masa depan yang suram. Terdapat senarai yang panjang yang perlu ditandatangani oleh Kerajaan Persekutuan. Melaksanakan reformasi institusi dan kerajaan, menegakkan keadilan sosial, memerangi ketidaksamaan, melawan rasuah, menyelesaikan masalah belia menganggur, memulihkan sistem pendidikan negara dan membersihkan banyak syarikat berkaitan kerajaan untuk memastikan Malaysia kekal relevan dan kompetitif dalam era teknologi industri digital baharu.
Tuan Yang di-Pertua, dunia kita masih berkeadaan huru-hara. Negara kita berdepan dengan perubahan besar dalam landskap antarabangsa. Cabaran demi cabaran di dalam dan di luar negara, pandemik COVID-19 yang masih belum dihapuskan, perang Russia-Ukraine yang berterusan menyebabkan rangkaian bekalan sedunia terganggu mengakibatkan berlakunya inflasi global.
Tekanan geopolitik, peristiwa-peristiwa di luar jangkaan, keadaan politik dan ekonomi dunia yang tidak menentu, perubahan iklim, bebanan hutang terlalu tinggi, bertambahnya kemiskinan, meluasnya perbezaan pendapatan, terlalu bergantung pada makanan import dan sebagainya. Kesemua ini membawa kepada tekanan dan keresahan kepada rakyat Malaysia. Namun, saya yakin kerana Kerajaan Perpaduan yang mendukung prinsip keadilan, kesederhanaan, integriti dan tata kelola yang berkesan akan dapat memberangsangkan usaha pemulihan ekonomi, menambah baik status ekonomi rakyat dan meringankan beban hidup rakyat khususnya bagi golongan B40.
Tuan Tan Kok Wai - Cheras
Apabila Yang Amat Berhormat Perdana Menteri melancarkan konsep Malaysia Madani pada 19 Januari yang lalu, ia diterima baik sebagai konsep yang positif yang dapat menyemarakkan nilai kemajmukan dan demokrasi. Hal ini akan meningkatkan keyakinan rakyat terhadap masa depan negara. Sebelum ini, nama baik negara kita telah terjejas sehingga ada yang menggelar Malaysia sebagai negara skandal. Keyakinan rakyat yang dihancurkan oleh pentadbiran dahulu telah dikembalikan oleh kerajaan sekarang.
Kini, rakyat berharap Malaysia Madani dapat dilaksanakan dalam segenap aspek dasar kerajaan supaya kita dapat merealisasikan pendemokrasian negara serta dapat mencetuskan semangat Malaysia baharu yang bertamadun dan progresif. Sudah lama
Tuan Tan Kok Wai - Cheras
rakyat menanti ketibaan kerajaan yang baik. Hanya kerajaan yang baik sahaja dapat mengembalikan kegemilangan negara dan membawa kehidupan lebih baik buat rakyat.
Tuan Yang di-Pertua, seorang pemimpin pembangkang menyebut baru-baru ini, bahawa Kerajaan Perpaduan pimpinan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri sekarang akan tumbang tidak lama lagi. Kenyataan itu hanya khayalan. Sesetengah pihak yang mengangan-angankan supaya Langkah Sheraton berlaku lagi, hanya akan dikecewakan.
Dalam pada itu, ramai ahli politik kini berada dalam kepanasan macam cacing kepanasan.
Saya perhatikan, terdapat mereka dalam Dewan yang mulia ini, secara emosi dan psikologi, merasa tertekan kerana dituduh di mahkamah oleh SPRM atau bimbang dituduh kerana kes rasuah dan menyalahgunakan kuasa bagi kepentingan diri dan mengkayakan masing-masing. Contohnya, pendedahan kes tuduhan rasuah dalam Program Jana Wibawa. Mereka berharap supaya Kerajaan Perpaduan ditumbangkan sebelum mereka dihadapkan ke muka pengadilan atas kesalahan mereka yang menyebabkan kerugian yang ditanggung oleh negara dan rakyat Malaysia.
Tuan Yang di-Pertua, mereka berangan-angan bila mereka berkuasa kelak, segala kes penyelewengan mereka boleh disorok di bawah karpet. Segala skandal jenayah merupakan suatu bentuk pengkhianatan terhadap negara. Mereka ini tidak lebih dari hanya seperti serigala yang menyamar seekor biri-biri, a wolf in sheep's clothing. Berpura-pura baik...
Datuk Seri Dr. Dzulkefly bin Ahmad - Kuala Selangor
Yang Berhormat Cheras, ini Kuala Selangor. Kuala Selangor di belakang ini.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Yang Berhormat Kuala Selangor.
Tuan Tan Kok Wai - Cheras
Okey.
Datuk Seri Dr. Dzulkefly bin Ahmad - Kuala Selangor
Yang Berhormat Cheras, setujukah Yang Berhormat Cheras, kalau Kuala Selangor menyebutkan bahawa, kalau ada mana-mana pihak, mana-mana pimpinan, khasnya di sebelah sana, pembangkang— Perikatan Nasional yang bermimpikan, atau lebih berat lagi, yang sedang merancang langkah-langkah untuk menjatuhkan kerajaan yang telah pun diangkat dan diterima oleh Yang di-Pertuan Agong.
Apakah itu rencana yang mengkhianati Titah Yang di-Pertuan Agong?
Bersetujukah Yang Berhormat Cheras kalau inilah dia cita-cita mereka yang mereka mimpikan? Ia merupakan satu pengkhianatan kepada Yang di-Pertuan Agong?
Tuan Tan Kok Wai - Cheras
Setuju dengan sepenuhnya. Itu bukan cita-cita mereka. Itu khayalan mereka.
Tuan Kalam bin Salan - Sabak Bernam
Yang Berhormat Cheras, minta pencelahan.
Datuk Wan Saiful bin Wan Jan - Tasek Gelugor
[Bangun]
Tuan Tan Kok Wai - Cheras
Duduk. Saya tidak bagi chance... [Merujuk kepada Ahli Parlimen Tasek Gelugor]
Datuk Wan Saiful bin Wan Jan - Tasek Gelugor
Tidak bagi chance? Sikit saya hendak tanya, adakah Yang Berhormat Cheras akan sokong Yang Berhormat Bagan Datuk, kepala pertama mengkhianati Perlembagaan kita?
Tuan Tan Kok Wai - Cheras
Maaf, maaf.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Yang Berhormat Tasik Gelugor...
Tuan Tan Kok Wai - Cheras
Sudah. Cukuplah.
Datuk Wan Saiful bin Wan Jan - Tasek Gelugor
Tidak akan hilang point kut? Jawab soalan saya tadi.
Tuan Tan Kok Wai - Cheras
Tuan Yang di-Pertua, tiada sesiapa yang ‘kekal’ daripada undang-undang— yang kebal daripada undang-undang. Saya menyeru SPRM terus mendakwa mana-mana pemimpin yang terperangkap dengan jenayah rasuah.
Datuk Che Mohamad Zulkifly bin Jusoh - Besut
Sikit, sikit. Yang tidak kekal, kerajaan sekarang. Yang tak kekal, mungkin.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Yang Berhormat Besut, jangan berucap tanpa kebenaran.
Tuan Tan Kok Wai - Cheras
Malangnya untuk mereka di situ, komplot ini hanya akan kekal sebagai angan-angan semata-mata dan mereka akan terus dihantui mimpi ngeri yang akan menjadi kenyataan apabila sistem kehakiman negara akhirnya memastikan mereka menerima hukuman yang setimpalnya untuk kesalahan-kesalahan yang telah dilakukan oleh mereka ini.
Mereka yang mengutuk Kerajaan Perpaduan akan gagal dalam konspirasi mereka kerana rakyat menyokong kerajaan sekarang kerana mereka mahukan reformasi dan pembaharuan negara. Kerajaan ini akan terus memenangi hati dan minda rakyat yang mana mereka akan terus menyokong kami untuk kekal mentadbir kerana kami mengutamakan dan mengamalkan tadbir urus yang baik, keadilan dan kesaksamaan bagi membolehkan Malaysia bergerak ke hadapan untuk mencipta sebuah masa hadapan yang lebih baik untuk semua rakyat.
Tuan Yang di-Pertua, dalam soal pentadbiran Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, ingin saya perkatakan di sini apa yang diharap-harapkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri bahawa beliau tidak mahu Kuala Lumpur dikenali hanya dengan monumen seni bina. Saya juga rujuk kepada Titah oleh DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang telah menzahirkan hajat Baginda supaya Kuala Lumpur dibangunkan sebagai sebuah bandar raya yang unggul dan mampan yang mampu untuk memelihara kesejahteraan rakyat.
Baginda juga telah menyatakan kegusaran mengenai bencana banjir kilat yang sering melanda ibu kota kita dan Baginda bertitah supaya semua pembangunan dijalankan seiring dengan inisiatif untuk memelihara alam sekitar dan pembangunan di kawasan berisiko tinggi, terutamanya di kawasan-kawasan berbukit hendaklah dikawal dengan baik.
Saya juga mohon seminit dua lagi. Saya ingin menyeru agar kerajaan memberi perhatian serius kepada masalah keterlaluan pembangunan dalam Bandaraya Kuala Lumpur yang mana bangunan-bangunan berkepadatan tinggi yang telah dibina atau dalam peringkat perancangan untuk perumahan atau berbagai guna yang tumbuh bagai cendawan di seluruh bandar raya termasuk cerun yang curam dan kawasan-kawasan yang lama yang padat. Saya bangkitkan isu ini kerana banyak projek sekarang sedang menunggu kelulusan yang bakal membawa perubahan besar dan negatif kepada kehidupan rakyat. Ini bukan sahaja mencetuskan pertambahan penduduk yang ketara, tetapi mengakibatkan alam sekitar menjadi rosak, terhakisnya kualiti hidup.
Kita wajib mengambil pengajaran pahit daripada bencana tanah runtuh yang kerap berlaku dalam negara serta banjir besar di Johor dan negeri-negeri lain yang melanda puluhan ribuan keluarga. Inilah harapan saya. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Terima kasih, Yang Berhormat Cheras. Sekarang, saya jemput Yang Berhormat Kuantan.
Tuan Wan Razali bin Wan Nor - Kuantan
Terima kasih, Tuan Yang di-Pertua.
Bismillahi Rahmani Rahim. Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam buat baginda Nabi Muhammad SAW dan seluruh ahli keluarga baginda.
Tuan Yang di-Pertua, terima kasih kerana memberi peluang kepada saya selaku wakil Parlimen Kuantan untuk turut serta dalam perbahasan Belanjawan 2023. Saya
Tuan Wan Razali bin Wan Nor - Kuantan
meneliti belanjawan yang dibentangkan oleh Yang Berhormat Menteri Kewangan merangkap Yang Amat Berhormat Perdana Menteri pada 24 Februari 2023.
Tuan Yang di-Pertua, saya ingin menarik beberapa perkara yang ingin ditanya kepada kerajaan, dicadangkan kepada kerajaan serta diminta pembahagian peruntukan yang dibentangkan agar ia boleh dibawa balik ke Parlimen saya di Kuantan. Saya mulakan dengan komuniti bandar mampan dengan peruntukan yang diberikan. Saya ingin menarik perhatian berkaitan objektif meningkatkan kemahiran keusahawanan golongan miskin bandar.
Tuan Wan Razali bin Wan Nor - Kuantan
Ketika ini anak muda tercari-cari tapak untuk memulakan perniagaan. Tapak yang sedia ada telah disewa oleh mereka yang terdahulu. Saya ingin cadangkan kepada pihak kementerian agar sentiasa mencari tapak-tapak baharu yang strategik untuk diberi kepada belia dan anak-anak muda untuk mereka memulakan perniagaan termasuk membina kios- kios agar mereka boleh menyewa dengan kadar yang paling minima ataupun menyediakan tapak untuk mereka memasang khemah agar mereka dapat mencari rezeki.
Pilihlah mana-mana lokasi yang selamat, maka bagilah ruang seluasnya kepada anak- anak muda ini mencari rezeki.
Seterusnya berkaitan persekitaran bandar mampan. Saya ingin mencadangkan agar peruntukan yang diberikan dapatlah diberikan kepada penyediaan tong-tong sampah besar di sekitar kampung-kampung pinggir bandar. Kadang-kadang kita terlihat ada tempat yang mereka jadikan lokasi pembuangan sampah di tepi jalan atau lorong yang agak berjauhan dari pandangan ramai. Pelbagai usaha yang telah dibuat termasuk menyita dan memberi amaran, namun ia tidak berkesan kerana mereka tiada tempat untuk membuangnya. Apabila ingin meletakkan tong-tong sampah ini pula, rujuklah pemimpin setempat agar lokasi yang diletakkan tidak menjadi isu tetapi masalah pengurusan sampah ini selesai.
Seterusnya berkaitan projek perumahan. Pemantauan terhadap tempoh siap sesuatu projek perumahan perlu sentiasa dilakukan. Ini adalah kerana jika ia berlaku tidak mengikut jadual asal, pembeli terpaksa membayar pinjaman rumah yang dibeli dan terpaksa juga membayar sewa yang didiami. Ia menjadi bebanan berganda kepada rakyat. Saya memohon KPKT sentiasa memantau projek yang masih belum siap mengikut tempoh termasuk projek-projek PR1MA agar nasib pembeli atau rakyat terbela, lebih-lebih lagi kebanyakan mereka dalam kalangan B40 dan M40.
Tuan Yang di-Pertua, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional diperuntukkan RM201 juta bagi tempoh tahun 2023. Saya beranggapan bahagian peruntukan ini akan disalurkan sebagai geran kepada KRT seluruh negara. Berkaitan dengan penubuhan Kawasan Rukun Tetangga, saya ingin memohon agar syarat penubuhan KRT ini dilonggarkan sedikit daripada syarat sedia ada iaitu 1,000 buah rumah kepada yang lebih rendah mengikut keperluan semasa. Ini kerana terdapat projek perumahan yang tidak mencapai jumlah yang disyaratkan dan tiada perumahan lain di sekitarnya.
Pada masa yang sama perumahan ini perlu kepada organisasi dan kerukunan agar keharmonian antara mereka terjaga. Di tempat saya juga, ada isu tersebut iaitu perumahan Bunut Rendang. Hanya 150 buah rumah, lokasinya jauh daripada perumahan lain. Saya memohon Kementerian Perpaduan Negara dapat mempertimbangkan perkara ini.
Dalam menyemai, memupuk, meningkatkan semangat perpaduan seperti saranan rakan-rakan Yang Berhormat yang lain, saya ingin cadangkan agar Kementerian Perpaduan Negara mengadakan program berbentuk kefahaman Rukun Negara kepada semua bangsa agar kefahaman Rukun Negara bukan hanya dibaca di bibir tetapi diterapkan dalam jiwa setiap warga Malaysia.
Selain itu, perlu adakan juga program penerangan berkaitan dengan Perlembagaan negara agar semua generasi baik yang terdahulu kita ingatkan semula, generasi baharu kita maklumkan kepada mereka tentang Perlembagaan negara. Apabila semua memahami Perlembagaan ini, amat mudah untuk pihak kerajaan menguruskan
Tuan Wan Razali bin Wan Nor - Kuantan
perbezaan pendapat dan masalah kerana masing-masing mengetahui had dan limit bagi setiap permintaan dan tuntutan. Kementerian Perpaduan Negara juga perlu mendahului kementerian lain dengan mengadakan program di mana-mana lokasi di seluruh negara dan libatkan semua pihak termasuk pembangkang. Ini akan menjadi contoh kepada semua rakyat yang kerajaan serius dalam menjayakan keharmonian kaum di negara ini bermula pada peringkat pemimpin hinggalah kepada rakyat.
Tuan Yang di-Pertua, dalam menangani isu berkaitan salah guna medium atas talian, saya berharap Kementerian Komunikasi dan Digital melihat syarikat tempatan negara kita yang berada di bawah kawalan kementerian. Untuk makluman pihak kementerian, syarikat tempatan iaitu Pos Malaysia Berhad sedang bergelut, bersaing harga dengan syarikat-syarikat dari luar negara yang masuk bersaing di negara kita.
Syarikat luar ini mereka memulakan perniagaan dengan meletakkan harga yang serendah mungkin bagi menyaingi syarikat tempatan. Syarikat tempatan juga perlu turunkan harga supaya dapat bersaing dengan mereka. Bezanya apabila syarikat luar ini gagal, mereka tutup dan boleh balik ke negara asal mereka, namun syarikat tempatan ini pula perlu bergelut menguruskan hasil yang terhad berbanding dengan peningkatan kos akibat persaingan ini.
Benar, persaingan ini baik untuk pelanggan. Namun, jangan kita alpa bahawa di dalam syarikat ini terdapat rakyat tempatan yang mencari rezeki dan rata-rata mereka adalah B40 dan M40. Dahulu kakitangannya seramai 22,000 orang, menurun kepada 18,000 orang dan ketika ini saya dimaklumkan bahawa seramai 15,000 orang kakitangan.
Saban tahun kita membaca dalam akhbar bahawa syarikat ini mengalami kerugian. Saya berharap pihak kementerian dapat membantu mengawal persaingan harga atau buat sesuatu bagi membantu syarikat tempatan ini supaya 15,000 orang kakitangan ini kekal bekerja, seterusnya mengurangkan risiko peningkatan jumlah pengangguran negara.
Kalau bukan kerajaan yang bantu syarikat tempatan, siapa lagi yang boleh kita harapkan untuk membantu.
Tuan Yang di-Pertua, saya ingin menyentuh berkaitan dengan pengeluaran KWSP. Rakyat menghargai RM500 yang diperuntukkan untuk mereka. Namun, untuk makluman sebenarnya mereka hendak gunakan sekarang, hendak bayar yuran persekolahan anak, hendak beli buku pelajaran anak. Kita telah dengar banyak pengiraan yang dibuat oleh Ahli Parlimen tentang bagaimana simpanan mereka akan meningkat semula nanti. Mereka hanya hendak keluarkan duit mereka sahaja. Saya harap pihak kerajaan mencari jalan untuk meluluskan pengeluaran secara bersasar kepada mereka yang layak.
Tuan Yang di-Pertua, saya ingin menarik perhatian tentang di tempat saya, Taman Seri Inderapura Jaya di mana tiada masjid atau surau walaupun jumlah kediaman 1,100 unit. Ketika ini mereka menyewa satu lot kedai dengan harga RM1,200 sebulan dan ia telah berlanjutan selama dua tahun. Saya ingin menarik perhatian Jabatan Perdana Menteri atau Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, dengan peruntukan yang diperoleh bolehlah disumbangkan bagi membangunkan surau atau masjid di kawasan terbabit.
Tuan Yang di-Pertua, saya ingin berkongsi dilema wanita Muslim dalam menyambut kelahiran. Sebelum saya meneruskannya, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada seluruh pakar perubatan sama ada lelaki dan perempuan yang telah berjuang, bertungkus-lumus menyelamatkan isteri, anak atau adik-beradik kita dalam proses kelahiran. Di sini, saya mencadangkan agar pihak kesihatan mencari jalan agar menarik lebih ramai doktor serta pakar dalam perbidanan yang diisi oleh golongan wanita itu sendiri.
Kita sedar bahawa bidang ini amat penat kerana kitaran tugasnya hampir setiap minit. Namun, bagi menarik minat mereka mungkin pihak kementerian boleh menawarkan skim gaji yang berbeza atau imbuhan tambahan agar mereka berminat dalam bidang ini.
Jika kita tidak mulakan daripada sekarang, bilakah lagi Tuan Yang di-Pertua? Sudah sampai masanya untuk kita menghargai wanita yang telah banyak berkorban untuk kita semua. Kita kena sedar, tiada wanita iaitu ibu kita sendiri, kita tiada di dalam Dewan hari ini.
Tuan Wan Razali bin Wan Nor - Kuantan
Tuan Yang di-Pertua, selain dari tempat-tempat makan yang sedap, Parlimen Kuantan juga mempunyai pelbagai tempat cantik untuk dilawati termasuk Pantai Teluk Cempedak, Pantai Kempadang, Pantai Sepat, Pantai Cempaka dan lain-lain. Setiap hujung minggu, kesemua jalan ke lokasi ini akan sibuk dan sesak. Bagi menjamin keselamatan para pengunjung, saya ingin memohon daripada Kementerian Kerja Raya agar jalan menghala ke Pantai Sepat dilebarkan kerana ketika ini jalan tersebut tidak mempunyai kaki lima. Harap dapat pertimbangan daripada pihak kementerian. Saya memohon satu minit.
Berkenaan dengan pengurangan cukai dua peratus bagi cukai pendapatan untuk golongan M40 yang dibentangkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Kewangan, disambut baik. Namun dengan dua peratus ini, masih belum menyamai dengan peningkatan kos yang ditanggung oleh mereka setiap tahun. Saya harap pihak kerajaan segerakan pembahagian isi rumah mengikut beberapa mekanisme dan tidak hanya tertumpu kepada jumlah pendapatan semata-mata agar semua rakyat Malaysia tidak tertinggal dalam setiap peruntukan dan bantuan yang diberikan oleh pihak kerajaan.
Tuan Yang di-Pertua, akhirnya saya terpanggil untuk menyuarakan isu yang baru- baru ini muncul iaitu berkaitan filem yang di-viral-kan di medsos berkaitan seorang ayah memberi kebenaran kepada anaknya memilih agama mana yang dia hendak. Tidak boleh begini, Tuan Yang di-Pertua, Islam tidak boleh begini.
Tuan Wan Razali bin Wan Nor - Kuantan
Sepatutnya seorang ayah perlu menjaga akidah anaknya. Bagaimanakah perkara ini boleh berlaku di Malaysia ini? Islam adalah agama rasmi Persekutuan. Tiada Islam liberal. Saya hendak maklumkan juga kepada yang berkeinginan untuk membuat filem yang berkaitan dengan agama, rujuklah jabatan agama, mufti, JAKIM atau mana- mana yang berautoriti agar keharmonian agama dan kaum dapat kita pertahankan. Juga kepada JAKIM serta Kementerian Komunikasi dan Digital, pemantauan dan tindakan perlu diambil bagi mereka yang memuat naik perkara yang boleh mengancam keharmonian semua pihak.
Saya akhiri dengan serangkap pantun, Tuan Yang di-Pertua.
Kalau ke kebun petik pegaga, Ambilkan saya sedikit cekur, Pemimpin dan rakyat saling menjaga, Betul disokong salah ditegur. Sekian, terima kasih.
[Dewan tepuk]
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Saya jemput Yang Berhormat Kuala Pilah.
Dato’ Adnan bin Abu Hassan - Kuala Pilah
*Bismillahi Rahmani Rahim.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh* dan salam sejahtera. Terima kasih, Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua atas kesudian untuk memberikan saya ruang bagi membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2023 bersama dengan Ahli-ahli Yang Berhormat yang lain.
*Bismillahi Rahmani Rahim.
[Membaca sepotong ayat Al-Quran]* Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua, ayat enam Surah Ibrahim ini sering kali dibaca oleh semua bagi memastikan adanya perasaan bersyukur di atas segala rahmat dan nikmat yang Allah SWT kurniakan kepada kita. Pemimpin selalu juga membaca surah yang sama ini bagi memberikan ketenangan kepada rakyat yang mereka pimpin. Namun begitu, Tuan Yang di-Pertua, ia tidak melepaskan tanggungjawab yang ada di atas batu jemala pentadbir dan pemerintah kerajaan bagi memberikan yang terbaik kepada rakyat yang dipimpin bagi membela mereka terutamanya dalam keadaan sekarang peningkatan kos sara hidup yang begitu tinggi ini.
Dato’ Adnan bin Abu Hassan - Kuala Pilah
Tuan Yang di-Pertua, antara kita sedar atau tidak, dunia kini telah berubah. Kita kini hidup dalam era dunia VUCA; dunia yang tidak menentu; ketidaktentuan (uncertainty) dengan izin, tidak pasti; complexity (kerumitan); dan ambiguity (kekaburan). Pandemik COVID-19 tiba-tiba mengubah ekosistem dunia kita. Kita ini terpaksa hidup dengan norma baharu yang kita tidak boleh bayangkan. Suatu yang relevan dahulu, sekarang sudah tidak relevan, tidak praktikal lagi sekarang ini.
Merujuk kepada hasil kajian semula pasaran sektor perkhidmatan, borong dan runcit yang diterbitkan oleh Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) mendapati bahawa sebelum pandemik COVID-19 melanda negara ini, hampir 50 peratus pengguna dan perusahaan bergantung pada ekonomi digital untuk membuat pembelian atas talian.
Walau bagaimanapun, penularan COVID-19 telah mempercepatkan gelombang perubahan yang mendorong rakyat, perusahaan dan kerajaan untuk mengadaptasi pendigitalan dalam urusan kehidupan seharian sehingga menyumbang kepada peningkatan penggunaan ekonomi digital atas talian kepada lebih daripada 70 peratus.
Dapatan kajian semula pasaran MyCC juga mendapati terdapat kurang daripada 10 peratus perusahaan di Malaysia mengadaptasi ekonomi digital dalam urusan perniagaan mereka. Perkara ini amatlah membimbangkan memandangkan lebih 90 peratus perusahaan di Malaysia adalah MSME dan kegagalan adaptasi ekonomi digital akan menyebabkan perusahaan di Malaysia ketinggalan dalam arus pembangunan ekonomi digital kita. Hal ini telah menyebabkan mismatch di mana-mana dalam negara kita termasuk di Kuala Pilah. Liputan jalur lebar yang menyeluruh dan stabil adalah amat penting bagi mengelakkan perkara ataupun isu mismatch ini dengan izin, berlaku bukan sahaja melibatkan sektor perniagaan malahan juga sektor pendidikan di negara kita.
Jabatan Statistik Malaysia (DOSM) telah menganggarkan pertumbuhan menjangkau 12.1 peratus menjangkau RM359.3 bilion untuk tahun 2021 iaitu penyumbangan daripada sektor ICT. Hari ini kaedah perniagaan telah pun beralih arah di mana rakyat menggunakan kaedah atas talian berbanding kaedah konvensional. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Telekom Malaysia atas usaha menaik taraf liputan jalur lebar di Kuala Pilah. Namun begitu, masih banyak lagi ruang penambahbaikan terutama daripada segi kemudahan infrastruktur digital.
Sebagai contoh, kejadian dropped calls acap kali berlaku di sempadan masuk ke Kuala Pilah sepanjang Jalan Bukit Putus. Oleh itu, memandangkan Yang Berhormat Menteri Kementerian Komunikasi dan Digital yang juga berasal dari Kuala Pilah, besarlah harapan warga Kuala Pilah agar perkara ini dapat diatasi oleh pihak kementerian.
Tuan Yang di-Pertua, difahamkan Kementerian Kerja Raya telah menerbitkan Pelan Pembangunan Rangkaian Jalan Raya atau Highway Network Development Plan
(HNDP). Kuala Pilah berharap agar pihak kementerian memberikan perhatian serius kepada pembinaan jalan baharu Seremban-Kuala Pilah dan terus ke Pantai Timur.
Difahamkan usaha ini untuk membina jalan yang telah dimulakan 20 tahun dahulu dan telah adapun lantikan yang dibuat untuk pihak kontraktor yang terlibat tetapi malangnya ia tidak diteruskan atas alasan yang tidak diketahui. Jikalau 20 tahun dahulu, ia merupakan suatu keperluan yang mendesak, apatah lagi sekarang ini, Tuan Yang di- Pertua.
Laluan ini menjadi pilihan utama terutamanya jentera berat, kenderaan- kenderaan berat yang ingin ke Pantai Timur. Kuala Pilah juga percaya dengan adanya jalan baharu ini, limpahan ekonomi dan sosial akan turut dirasai oleh semua ataupun beberapa kawasan Parlimen yang bakal dilalui oleh jajaran baharu tersebut. Kuala Pilah juga yakin laluan ini akan lebih menjimatkan kos pembinaannya berbanding dengan kegiatan menaik taraf jalan yang sedia ada. Cadangan pembinaan jalan baharu ini pernah disuarakan dalam Usul Rancangan Malaysia Ke-12, pada Rolling Plan yang kedua dengan melibatkan kos sekitar RM450 juta hingga RM500 juta. Namun, sehingga kini ia masih tidak lagi dilaksanakan.
Kuala Pilah tidak terkecuali daripada terkesan dengan ketidaktentuan cuaca hari ini. Hujan berterusan menyebabkan banyak kawasan dinaikkan air akibat penyelenggaraan sungai dan parit yang tidak baik. Sebagai contoh, Sekolah Kebangsaan Tapak, Kuala Pilah. Kejadian yang berlaku di Sekolah Kebangsaan Tapak di Kuala Pilah
Dato’ Adnan bin Abu Hassan - Kuala Pilah
yang sering kali dinaiki air berulang kali di tempat yang sama dan banjir lumpur ini akibat daripada hujan lebat adalah merupakan banjir lumpur yang terhasil daripada tiadanya penyelenggaraan daripada agensi-agensi yang berkenaan terhadap sungai kecil dan parit di sekitar sekolah tersebut. Ia suatu perkara yang tidak pernah berlaku sebelum ini.
Diharapkan selain daripada Kementerian Pendidikan, agensi-agensi lain juga seperti JPS di bawah Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim dapat melihat perkara ini bagi boleh memberikan penyelesaian secara tuntas permasalahan di Sekolah Kebangsaan Tapak ini.
Peruntukan besar melibatkan jutaan ringgit diperlukan bagi mengatasi kejadian banjir di negara kita. Peruntukan kecil walaupun ia sebanyak RM20,000 bagi kerja-kerja menyelenggarakan sungai dan tali air, jika dilakukan secara berjadual dan berkala, boleh mengelakkan kerugian yang lebih besar. Saya yakin agensi seperti JPS telah mengenal pasti lokasi hotspot ini dan boleh membuat penyediaan peruntukan khusus bagi mengurangkan impak apabila berlakunya bencana.
Tuan Yang di-Pertua, sebelum ini di Kuala Pilah ada sebuah bangunan Arked Mara. Bangunan Arked Mara ini telah dirobohkan pada tahun 2017 bagi projek pembangunan bangunan baharu yang pada ketika itu sudah ada peruntukannya. Namun selepas dirobohkan, sehingga kini masih tiada lagi khabar berita berkaitan pembinaan bangunan baharu ini. Diharapkan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah dapat melihat semula perkara ini agar bangunan Arked Mara Kuala Pilah ini dapat dibina semula.
Tuan Yang di-Pertua, selain daripada imbuhan kewangan, kita harus mengakui bahawa terdapat banyak faktor lain menyumbang kepada KPI kesejahteraan penjawat awam. Pendidikan sebagai contohnya, merupakan suatu yang dinamik. Kaedah pengajaran dan pembelajaran yang dahulu diguna pakai beberapa tahun dulu mungkin sudah tidak relevan dan praktikal pada hari ini. Begitu juga dengan sistem yang digunakan. Beberapa sistem telah pun diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan dengan matlamat untuk meningkatkan lagi sistem penyampaian buat warga pendidik. Ia wajar dipuji.
Namun begitu, adalah dicadangkan sebelum sesuatu sistem tersebut diguna pakai, kementerian haruslah memastikan bahawa sistem ini adalah stabil dan telah teruji.
Sistem idMe, contohnya, adalah baik. Namun begitu, adalah tidak wajar guru-guru terpaksa menunggu sehingga lewat pagi hanya untuk membolehkan mereka memasukkan data melalui sistem tersebut akibat daripada server yang tidak mencukupi bagi accommodate pelayaran-pelayaran yang telah dibuat oleh guru ini.
Tuan Yang di-Pertua, Kuala Pilah juga ingin melihat kepada kesejahteraan tempat bertugas. Saya sendiri telah melawat Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Pilah dan mengakui akan keperluan pembinaan bangunan baharu. Terdapat unit kakitangan dan staf kerajaan, staf di sana terpaksa ditumpangkan ke lokasi bangunan yang berasingan dan jauh. Bangunan ini sudah lama. Ia dibina pada tahun 1970 dan sekarang ini sudah ada 115 orang kakitangan Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Pilah di sana dan sudah tentulah saya harap dan saya merayu kepada pihak Kementerian Kesihatan melihat kepada pembinaan bangunan baharu Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Pilah ini.
Tuan Yang di-Pertua, saya juga ingin merujuk ataupun kerajaan melihat kepada nazir atau pentadbir masjid ini. Terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Tambun kerana telah mengumumkan sumbangan khas kepada imam-imam, bilal, tok siak, noja, marbut dan lain-lainnya. Saya mencadangkan agar nazir ini dan pegawai-pegawai masjid yang merupakan pentadbir masjid ini yang menjalankan tanggungjawab mereka secara sukarela ini diberikan juga bantuan one-off seperti ini.
Tuan Yang di-Pertua, akhir sekali, Kuala Pilah juga ingin menyentuh serba sedikit tentang pengeluaran...
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Sila gulung, masa sudah tamat.
Dato’ Adnan bin Abu Hassan - Kuala Pilah
Ya. Pengeluaran KWSP. Terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Tambun atas suntikan RM500 kepada ahli yang mempunyai kurang RM10,000 dalam Akaun 1 mereka.
Dato’ Adnan bin Abu Hassan - Kuala Pilah
Namun begitu, Kuala Pilah mencadangkan juga agar kerajaan mempertimbangkan untuk membenarkan pengeluaran KWSP ini secara case-by-case basis, dengan izin, khusus bagi pencarum yang benar-benar memerlukan. Kerajaan boleh menetapkan apa jua syarat supaya individu yang layak ini boleh membuat pengeluaran memandangkan kerajaan mempunyai maklumat berkaitan individu yang mencarum ini. Tuan Yang di-Pertua, kita mengakui bahawa KWSP adalah merupakan simpanan hari tua. Namun begitu, Kuala Pilah khuatir mereka tidak sempat tua untuk menikmati simpanan ini.
Dengan itu, Kuala Pilah menyokong. Terima kasih.
[Tepuk]
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Ahli-ahli Yang Berhormat memandangkan sekarang jam telah menunjukkan pukul 1.02 tengah hari, saya menangguhkan Mesyuarat sekarang dan akan bersambung semula jam 2.30 petang.
[Mesyuarat ditempohkan pada pukul 1.02 tengah hari]
[Mesyuarat disambung semula pada pukul 2.30 petang]
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
[Tuan Yang di-Pertua **mempengerusikan mesyuarat****]
Tuan Yang di-Pertua
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan selamat berbahagia. Kita sambung dengan menjemput Yang Berhormat Bayan Baru.
Silakan.
Tuan Sim Tze Tzin - Bayan Baru
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Selamat petang dan salam sejahtera. Saya mulakan dengan isu pertama iaitu agenda food security. Saya ucapkan tahniah kepada Kerajaan Perpaduan kerana meletakkan agenda food security sebagai agenda utama dalam Belanjawan 2023. Saya rasa syukur bahawa kerajaan akhirnya sedar bahawa hanya 1.2 juta tanah diguna pakai untuk tujuan agromakanan berbanding dengan enam juta hektar tanah untuk tujuan kelapa sawit dan satu juta hektar untuk tujuan getah.
Maka, saya ingin mencadangkan kepada kerajaan terutamanya Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, nombor satu harus mengarah semua pejabat tanah dan daerah di seluruh negara menyediakan tabung atau database tanah terbiar pertanian.
Database ini memudahkan orang muda yang ingin menyewa tanah untuk tujuan pertanian. Perkara ini boleh ditetapkan dalam Majlis Tanah Negara.
Kedua, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri harus mengarahkan semua jabatan atau agensi kerajaan yang mempunyai tanah pertanian terbiar atau underutilised, menyewakan kepada semua penggiat pertanian pada kadar yang minimum. Sebenarnya, banyak tanah kerajaan sendiri juga terbiar.
Ketiga, Majlis Tanah Negara dengan kerjasama kerajaan negeri harus memudahkan petani dan penternak memohon atau memajak tanah untuk tujuan pertanian atau penternakan. Pada masa ini prosedur memohon tanah amat rumit dan berbeza antara satu negeri dengan negeri yang lain. Tempoh pajakan juga berbeza-beza. Majlis Tanah Negara harus menyelaraskan semua SOP dan tempoh pajakan demi memudahkan proses pemajakan tanah.
Keempat, saya juga ingin menarik perhatian Yang Berhormat Menteri Pertanian tentang Projek Pertanian Moden, Kluang yang mempunyai 3,600 hektar tanah. Banyak tanah terbiar, wujud kartel-kartel tanah yang memonopoli tanah untuk disewa. Petani yang betul-betul berusaha terpaksa menyewa tanah daripada kartel tanah. Kerajaan harus ambil balik tanah dan diagih semula kepada petani yang betul-betul mengusahakan pertanian.
Tuan Sim Tze Tzin - Bayan Baru
Isu yang kedua yang saya ingin bangkitkan adalah isu pendidikan. Negara kita kekurangan pekerja dalam sektor sains, teknologi, engineering dan matematik atau lebih dikenali sebagai STEM. Untuk mencapai negara maju, kita perlu melipatgandakan usaha untuk menghasilkan lebih ramai graduan STEM dari universiti dan TVET. Saya ingin mencadangkan road map mewujudkan satu juta orang graduan STEM dari universiti dan TVET dalam tempoh lima tahun. Maka, setiap tahun kita perlu menghasilkan sekurang- kurangnya 200,000 orang graduan jurusan STEM. Untuk menarik minat pelajar memasuki ke bidang STEM yang amat susah ini, kerajaan harus mewujudkan insentif dan express lane kepada pelajar tingkatan lima untuk memilih jurusan STEM di universiti dan TVET.
Saya ingin mencadangkan tiga inisiatif. Pertama sekali, Kementerian Pendidikan Tinggi harus memberi insentif pendidikan percuma kepada semua pelajar yang memilih jurusan STEM dalam universiti dan TVET. Yuran jurusan STEM di universiti dan TVET haruslah semuanya percuma.
Kedua, Kementerian Pendidikan Tinggi harus menyediakan express lane kepada semua pelajar Tingkatan 5 dalam jurusan sains. Express lane ini bermaksud semua IPTA menawarkan kursus STEM secara terbuka kepada semua pelajar SPM. Keputusan baik dapat tawaran masuk universiti, yang kurang baik masuk TVET. Dulu Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pernah menawarkan semua kejuruteraan kepada pelajar SPM. Model UTM dahulu boleh dijadikan rujukan MOHE sekarang.
Ketiga, Kementerian Sumber Manusia harus menetapkan gaji permulaan minimum (minimum starting pay) yang munasabah kepada graduan universiti jurusan STEM dan TVET STEM. Apabila saya graduate 20 tahun yang lalu, gaji sebagai engineer, starting pay RM2,000. Sekarang, graduate engineer hanya RM2,500. Ini langsung tidak masuk akal. Graduan STEM dan TVET dalam jurusan STEM dapat gaji minimum RM1,500 sahaja. Siapakah hendak pilih TVET atau STEM?
Itu sebabnya Kementerian Sumber Manusia harus menetapkan gaji permulaan (starting pay) yang lebih munasabah kepada graduan STEM. Kalau graduate universiti gaji starting pay seharusnya lebih kurang RM4,000 manakala graduan TVET STEM seharusnya RM2,500. Maka, dengan tiga inisiatif yang merangkumi pendidikan percuma, express lane dan gaji permulaan ini, saya yakin kita boleh menarik lebih ramai pelajar memilih kerjaya dalam STEM. Kita akan mencapai satu juta graduan STEM dalam lima tahun.
Isu pendidikan yang kedua yang saya ingin bangkitkan adalah tentang UPSR.
Yang Berhormat Timbalan Menteri ada di sini. Saya mohon supaya Kementerian Pendidikan Malaysia mengkaji semula pemansuhan UPSR. Ini adalah disebabkan ramai ibu bapa yang mengeluh— sekarang mengeluh kerana anak-anak mereka tidak bermotivasi untuk belajar.
Saya berpandangan bahawa UPSR adalah satu kayu ukur kesediaan para pelajar untuk fasa pembelajaran seterusnya iaitu pendidikan di peringkat menengah. Saya juga faham kenapa KPM tidak ingin ibu bapa dan sekolah terlampau menumpukan peperiksaan atau exam-oriented. Akan tetapi, saya rasa boleh mencari satu pendekatan yang baik, yang bersesuaian untuk UPSR dan sebagainya.
Tuan Yang di-Pertua, Sistem Pengurusan IDentiti (idMe), Sistem Bersepadu KPM
(MOEIS), Aplikasi Pangkalan Data Murid dan Kehadiran (APDM), Sistem Maklumat Pengurusan Pendidikan KPM (EMIS) dan eOPERASI adalah sistem-sistem baharu yang telah diperkenalkan oleh KPM. Sistem yang diwujudkan oleh pihak KPM sering mengalami gangguan teknikal sehinggakan menyukarkan ratusan ribu guru untuk melakukan tugas mereka masuk data dalam sistem.
Tuan Sim Tze Tzin - Bayan Baru
Guru-guru terpaksa key in data sehingga pukul 4.00 pagi. Insiden terbaru adalah pendaftaran kanak-kanak bagi kalendar akademik sesi 2024/2025 terpaksa ditunda kerana masalah teknikal. Dengan ini, saya ingin memohon KPM untuk melakukan technical audit, menyiasat perkara ini dan mengambil tindakan ke atas syarikat-syarikat vendor yang jelas gagal menjalankan tugas mereka.
Tuan Sim Tze Tzin - Bayan Baru
Saya juga ingin tahu berapakah perbelanjaan yang diperuntukkan untuk membangunkan sistem IT tersebut, nama-nama syarikat dan tindakan yang akan diambil ke atas kegagalan mereka? Adakah KPM bersedia memanggil Jabatan Audit Negara, SPRM menyiasat sama ada sistem IT ini gagal menjalankan tugas mengikut tender dan spesifikasi yang ditetapkan?
Isu MRT3. Projek MRT3 adalah projek mega kedua terbesar dan termahal dalam sejarah Malaysia. RM50 bilion untuk 50 km. Ini bersamaan dengan satu meter RM1 juta.
Secara peribadi, saya berpendapat bahawa MRT3 terlalu mahal dan sangat membebankan kewangan negara pada masa sekarang. Maka, saya mengalu-alukan kenyataan Perdana Menteri yang ingin mengurangkan perbelanjaan MRT3 kepada RM45 bilion. Saya juga menyeru Kementerian Kewangan untuk memaksimumkan projek mega ini untuk pump-priming construction industry di Malaysia.
Saya ingin memberi ingatan kepada Kementerian Kewangan supaya jangan membuka tender secara pakej raksasa yang hanya menguntungkan satu atau dua buah syarikat sahaja (super contractors) sahaja. Kita harus mengambil iktibar daripada projek MRT1 yang hanya memanfaatkan satu atau dua mega kontraktor dan kebanyakan subkontraktor ditekan dan mengalami kerugian.
Projek MRT3 ini adalah satu peluang untuk membina semula industri pembinaan negara selepas COVID-19. Ia harus mencapai maximum multiplier effect kepada ekonomi dengan memberi pakej pekerjaan kepada seramai kontraktor yang mungkin. Maka, MRT3 harus dibahagikan kepada pakej-pakej yang lebih kecil untuk memanfaatkan seramai mungkin kontraktor dalam negara kita.
Isu yang terakhir Tuan Yang di-Pertua, Belanjawan 2023 mempunyai agenda dan karakter tersendiri. Saya perhatikan tiga agenda utama:
(i) menokhtahkan kemiskinan tegar;
(ii) memperjuangkan keadilan sosial. Contohnya meningkatkan cukai T20, mengenakan cukai mewah dan mengurangkan cukai M40 dan B40; dan
(iii) agenda reformasi. Memerangi rasuah dan membina Malaysia Madani.
Akan tetapi malangnya Yang Berhormat Tasek Gelugor melabelkan Belanjawan 2023 sebagai komunis. Saya ingin menerangkan kepada Yang Berhormat Tasek Gelugor bahawa belanjawan ini juga mengandungi banyak business-friendly policies. Contohnya memperkasakan kerjasama awam swasta, memudahkan cara pelaburan, dana sepadan untuk sektor pelancongan dan sebagainya.
Belanjawan ini mempunyai elemen market economy dan social policies yang menjaga B40 dan M40. Di negara Jerman, ini dipanggil sebagai market social economy. Memacukan ekonomi tanpa mengabaikan golongan susah merupakan perjuangan Yang Amat Berhormat Tambun dan juga parti-parti kerajaan selama ini. Jadi, tujuan pembangkang sekarang melabelkan komunis hanyalah bertujuan politik. Zaman Yang Berhormat Pagoh telah gagal, Kerajaan Yang Berhormat Pagoh digelar oleh rakyat sebagai kerajaan gagal. Sampai rakyat sendiri kibarkan bendera putih.
Tuan Yang di-Pertua
Yang Berhormat Bayan Baru, tolong.
Tuan Sim Tze Tzin - Bayan Baru
Jadi saya ingin mengingatkan pembangkang jangan main politik. Kita kena sokong Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dan Menteri Kewangan kita supaya negara kita diselamatkan oleh Kerajaan Perpaduan. Dalam keadaan rakyat sedang susah, marilah kita kerajaan dan pembangkang sama-sama menyokong Belanjawan 2023 ini. Sekian, terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Tuan Yang di-Pertua
Terima kasih Yang Berhormat Bayan Baru. Saya jemput Yang Berhormat Lumut.
Komander Nordin bin Ahmad Ismail TLDM (B) - Lumut
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Terlebih dahulu izinkan saya ingin mengucapkan simpati dan takziah ke atas mangsa-mangsa banjir di negeri-negeri yang terlibat. Syabas kepada agensi-agensi kerajaan dan NGO yang memberi bantuan menyelamat dan kebajikan. Kita doakan semoga dipermudahkan urusan dan dijauhi bencana yang diturunkan oleh Allah SWT. Ucapan saya kali ini akan menyentuh beberapa aspek pembangunan industri pertahanan tempatan, hal ehwal veteran ATM, belia dan isu- isu tempatan.
Saya ingin menarik perhatian Dewan terhadap ucapan penggulungan Titah Diraja yang dibuat oleh Yang Berhormat Menteri pada 22 Februari yang lalu yang ada menyatakan bahawa Kementerian Pertahanan sedang melihat kaedah pelaksanaan pembelian kapal misi pesisir iaitu LMS secara terus iaitu secara G2G dengan izin, dengan negara pengeluar. Soalan saya kepada Kementerian Pertahanan adalah adakah pelaksanaan perolehan aset kapal LMS sebagaimana yang diumumkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Kewangan yang akan dilaksanakan tahun ini akan mengetepikan aspek pembangunan industri pertahanan tempatan khususnya yang selama ini telah terbukti berupaya membina kapal-kapal perang untuk TLDM. Sebagaimana pengalaman Boustead Naval Shipyard yang berjaya menguruskan pembinaan enam buah kapal ronda generasi baharu ‘kelas-Kedah’ pada tahun 2003 hingga 2010 di mana dua buah kapal dibina di Jerman dan empat buah di Boustead Naval Shipyard.
Saya mohon perhatian kerajaan bagi pelaksanaan projek kapal LMS pada kali ini sekurang-kurangnya dapat dipertimbangkan pelaksanaan secara pecahan iaitu dua buah kapal di limbungan luar negara manakala bakinya dibina di limbungan tempatan untuk memberi peluang kepada syarikat-syarikat tempatan dan dalam masa yang sama membangunkan keupayaan industri pertahanan negara. Pelaksanaan projek LMS ini akan menjamin aspek pembangunan keupayaan industri pertahanan tempatan dan seterusnya membawa manfaat ekonomi hiliran melalui peluang-peluang pekerjaan kepada vendor- vendor tempatan yang terdiri daripada perusahaan kecil dan sederhana bumiputera, termasuk daripada kalangan veteran ATM sendiri yang sememangnya ramai yang terlibat di dalam industri pertahanan di dalam negara.
Melalui maklum balas yang saya terima, sebenarnya sudah wujud mekanisme sedia ada di peringkat Kementerian Pertahanan untuk melihat aspek pembangunan industri pertahanan tempatan dengan Majlis Industri Pertahanan Malaysia yang dipengerusikan oleh KSU Kementerian Pertahanan. Majlis ini sepatutnya berperanan menjaga kepentingan pemain industri pertahanan tempatan. Namun, malangnya majlis ini tidak aktif dan ini menyebabkan timbul perasaan kecewa daripada kalangan pemain- pemain industri tempatan yang tidak dapat menyampaikan pandangan dan cadangan yang bernas kepada pimpinan kementerian untuk menaikkan lagi pertumbuhan industri pertahanan tempatan.
Persoalan saya adakah Majlis Industri Pertahanan Malaysia ini masih aktif dan apakah cara dan kaedah supaya pihak Kementerian Pertahanan untuk membuka peluang kepada pemain-pemain industri pertahanan mengemukakan pandangan, permasalahan dan cadangan-cadangan bernas supaya kepentingan pembangunan industri pertahanan tempatan sentiasa terpelihara dan dikembangkan lagi. Kementerian tidak harus mengambil jalan mudah dengan membeli terus aset-aset pertahanan dari luar dengan mengetepikan keupayaan vendor-vendor tempatan.
Suka saya di sini mencadangkan bagi isu-isu perolehan aset pertahanan supaya kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen bagi menilai aspek dan pemilihan aset pertahanan untuk ATM. Ini bagi membolehkan aspek pembelian aset pertahanan dibuat secara telus bagi mengelakkan masalah ketirisan daripada terus berlaku sebagaimana yang dialami oleh projek LCS. Dengan tertubuhnya Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen yang turut dianggotai oleh barisan Ahli Parlimen daripada pembangkang dan juga kerajaan, ia akan memastikan Kementerian Pertahanan lebih berhati-hati dalam aspek penilaian dan penganugerahan kontrak kepada syarikat terpilih terutamanya bagi kontrak yang bernilai bilion ringgit.
Komander Nordin bin Ahmad Ismail TLDM (B) - Lumut
Isu veteran ATM. Selain daripada isu perolehan baharu aset pertahanan, saya juga ingin menarik perhatian Dewan terhadap pengumuman yang dibuat oleh Yang Amat Berhormat Tambun mengenai pelaksanaan program baharu pada tahun 2023 supaya tanah-tanah MINDEF yang terbiar untuk dilaksanakan projek pertanian bijian jagung yang domestik sekali gus memberikan peluang kerjaya kepada veteran ATM.
Komander Nordin bin Ahmad Ismail TLDM (B) - Lumut
LTAT menyediakan hanya 70 ekar tanah perladangan untuk projek ini. Pada pandangan saya, pelaksanaan program ini tidak meyakinkan golongan veteran ATM kerana tidak semuanya veteran berminat untuk menjadi petani. Persoalan saya adakah telah dilaksanakan kajian menyeluruh sebelum ini oleh pihak kementerian atau Lembaga Tabung Angkatan Tentera Malaysia (LTAT) mengenai viability projek, dengan izin, atau adakah cadangan ini hanya dilontar secara top-down approach, dengan izin, daripada Pejabat Perdana Menteri sendiri?
Seterusnya program-program pembangunan kerjaya untuk veteran ATM haruslah bersifat lebih mendepani cabaran ekonomi semasa dan perlu bersifat lestari. Adalah lebih baik sekiranya pihak kementerian atau LTAT memilih untuk memperkasakan Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera atau dikenali dengan PERHEBAT bagi menyediakan tenaga kerja pakar untuk melatih veteran ATM bagi reskilling dan upskilling mereka untuk pasaran pekerjaan yang lebih kompetitif daripada perbelanjaan dibuat dengan membuka ladang jagung menggunakan modal projek daripada LTAT.
Saya ingin membawa perhatian Dewan yang mulia ini mengenai peranan PERHEBAT bagi membentuk dan melatih anggota tentera yang perlu melalui tempoh peralihan bagi menyediakan mereka dalam pasaran kerja selepas pencen. Pada hemat saya, apabila kita bercakap mengenai usaha untuk membantu golongan veteran dan menyediakan mereka dalam pasaran kerja yang lebih kompetitif, PERHEBAT harus diperkasakan lagi dengan pindaan peruntukan yang lebih besar. Ini kerana pemberian peruntukan secara geran tahunan tidak menjamin kelangsungan program latihan di bawah PERHEBAT yang kekal menerima peserta latihan daripada kalangan anggota tentera yang bakal bersara dan jumlah peserta latihan ini bertambah setiap tahun.
Untuk pengetahuan, Majlis Veteran Kebangsaan merupakan satu badan yang ditubuhkan berdasarkan Akta Veteran 2012. Fungsi majlis adalah menyelaras segala masalah kebajikan dan kepentingan veteran. Pengerusi Majlis Veteran Kebangsaan iaitu Yang Berhormat Menteri Pertahanan. Sebahagian AJK nya adalah semua presiden persatuan veteran ATM tiga- cabang darat, laut dan udara.
Saya berharap sangat agar persatuan Majlis Veteran Kebangsaan dapat menyelesaikan cadangan dan isu-isu veteran seperti tuntutan penyelarasan pencen bagi veteran yang terlibat sebelum tahun 2013, imbuhan bagi veteran yang tidak berpencen dan pengampunan bagi bekas tentera yang telah selesai menjalani hukuman agar mereka dapat kemudahan kebajikan sebagai seorang veteran, permohonan tanah pertanian secara berkelompok dari kerajaan negeri.
Bagi memantapkan pengurusan majlis, semasa Yang Berhormat Sembrong menjadi Menteri Pertahanan telah mengesyorkan Menteri Kewangan dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam dilantik sebagai ahli tetap Majlis Veteran Kebangsaan agar pihak berkenaan memahami secara lebih mendalam isu serta keperluan dan perancangan Kementerian Pertahanan berkaitan veteran.
Saya juga ingin mengambil kesempatan ini mengucapkan tahniah kepada Yang Berhormat Teluk Intan, Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan yang telah mengumumkan kenaikan elaun khas kepada pasukan bomba sukarela daripada RM1,500 kepada RM3,000 pada tahun ini. Syabas Menteri.
Isu tempatan. Untuk makluman, di kawasan saya ada sebuah Pejabat Angkatan Pertahanan Malaysia Daerah Manjung sedia ada telah mendapat arahan untuk berpindah keluar ke lokasi bangunan penempatan sementara yang mana lokasinya tidak bersesuaian termasuk sebuah pejabat cawangannya juga memerlukan perhatian kementerian di mana terlalu sempit dan kecil. Saya mohon perancangan kementerian bagi
Komander Nordin bin Ahmad Ismail TLDM (B) - Lumut
bangunan baharu kekal untuk APM Daerah Manjung. Sekian, terima kasih. Saya mohon menyokong.
Tuan Yang di-Pertua
Terima kasih Yang Berhormat Lumut. Saya jemput Yang Berhormat Batang Sadong.
Puan Rodiyah binti Sapiee - Batang Sadong
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam sejahtera dan salam Malaysia Madani.
Tuan Yang di-Pertua, izinkan saya mewakili seluruh warga Parlimen Batang Sadong untuk mengambil bahagian dalam perbahasan Belanjawan 2023 yang telah dibentangkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri pada 24 Februari yang lepas.
Saya akan menyentuh beberapa perkara fokus yang berkaitan dengan pembangunan kawasan Batang Sadong untuk diberi perhatian oleh kerajaan.
Tuan Yang di-Pertua, pelbagai respons daripada rakyat berkaitan bajet ini telah disuarakan. Ada respons bersifat positif dan ada juga bersifat negatif. Namun begitu, saya tetap yakin bahawa agihan peruntukan bajet kali ini berjumlah RM388 bilion akan memberikan impak positif kepada rakyat Malaysia khususnya di Sarawak.
Tuan Yang di-Pertua, menyegerakan projek prasarana rakyat dengan menubuhkan pasukan khas mempercepatkan projek pembaikan bangunan klinik dan sekolah daif dengan peruntukan sebanyak RM1.2 bilion yang mana akan memberi impak positif pada Sarawak dan Sabah. Di Batang Sadong terdapat sebuah hospital dan tiga buah klinik kesihatan yang memerlukan dan wajar mendapat perhatian segera daripada pihak kerajaan.
Hospital Simunjan memerlukan pembinaan blok baharu adalah kerana isu keselamatan pesakit dan kakitangan yang timbul akibat tanah mendap yang menyebabkan bangunan wad pediatrik dan wad wanita mengalami keretakan dan terpaksa dikosongkan. Jadi, hal ini mengakibatkan ruang yang sedia ada menjadi sempit dan tidak kondusif kerana mereka ini telah berpindah ke kawasan yang sedia ada.
Kuarters sedia ada juga berada dalam keadaan usang dan memerlukan penggantian.
Saya difahamkan KKM mempunyai perancangan untuk membina blok tambahan dalam Rolling Plan Keempat, RMKe-12. Saya mohon projek ini disegerakan dan menjadi keutamaan pihak kementerian.
Nombor dua ialah Klinik Kesihatan Semera telah ditutup tahun lepas. Kita mohon agar tindakan segera untuk menyediakan tempat operasi sementara iaitu kontena sementara menunggu klinik baharu siap. Saya dimaklumkan bahawa tender telah dikeluarkan pada tahun lepas tetapi dekat tapak belum ada apa-apa pelaksanaan untuk kontena sementara itu dilakukan.
Ketiga ialah Klinik Kesihatan Jemukan bagi menggantikan bangunan kayu yang telah usang, bangunan yang rosak dan tidak ekonomik untuk dibaiki. Keempat, kita juga mohon untuk menaik taraf klinik kesihatan di Sadong Jaya bagi menampung 12,000 populasi di sekitar kawasan. Saya juga ingin mencadangkan supaya kembalikan semula Klinik 1Malaysia atau penjenamaan semula Klinik Rahmah, tidak kisah apa-apa nama tetapi ia fokus untuk memberikan perkhidmatan konsultasi kesihatan khususnya kepada penduduk di kawasan pedalaman. Sekurang-kurangnya apabila ada simptom sakit yang tidak kritikal mereka mampu ke klinik tersebut daripada terus pergi ke hospital yang agak jauh dari kawasan mereka.
Tuan Yang di-Pertua, untuk menyegerakan projek prasarana rakyat, saya menyokong penuh ucapan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri mengatakan apa guna jadi kerajaan sekiranya tidak menjadi pemudah cara kepada isu projek yang lambat siap dek kerana tatacara ataupun prosedur.
Di kawasan Batang Sadong, senarai sekolah daif yang perlukan pemerhatian serius daripada segi keselamatan yang berada di skala enam dan tujuh antaranya saya sebut di sini Sekolah Kebangsaan Lubok Bunting, Sekolah Kebangsaan Sungai Apin,
Puan Rodiyah binti Sapiee - Batang Sadong
Sekolah Temiang, Sekolah Sageng, Sekolah Menengah Kebangsaan Gedong di mana sekolah ini telah wujud lebih daripada 30 tahun tetapi dewan terbuka ataupun dewan tertutup memang tidak ada langsung. Seterusnya yang berada di skala lima ialah Sekolah Kebangsaan Haji Bujang Rangawan Putin. Kita mohon Kementerian Pendidikan untuk memperuntukkan bajet tersebut melibatkan projek-projek yang saya sebutkan tadi.
Tuan Yang di-Pertua, berkenaan jalan luar bandar, projek yang diberi nama membina jalan berturap sepanjang 2.6 kilometer- bukan 26 ya, 2.6 kilometer dan sebuah jambatan konkrit di Lubok Bunting, Lubok Punggor, Benat, Pekan Gedong di bahagian Samarahan, Sarawak telah diluluskan pada tahun 2020 di bawah Rolling Plan Keempat, RMKe-11. Projek ini adalah untuk memberikan kemudahan jalan perhubungan kepada petani yang kebanyakannya dari kawasan Gedong ke kawasan skim pertanian padi.
Puan Rodiyah binti Sapiee - Batang Sadong
Kita mohon agar Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah untuk menyegerakan pelaksanaan projek ini di mana kelewatan pelaksanaan projek akan meningkatkan kos pembinaan dengan meningkatnya kos bahan dan juga petani akan menghadapi masalah untuk mengangkut hasil pertanian padi.
Kita juga mohon dana projek untuk sambungan tebatan tebingan sungai di kawasan Kampung Lalang Mayak Gedong dengan anggaran dalam kos RM20 juta untuk menahan hakisan tebingan kampung tersebut.
Tuan Yang di-Pertua, perhatian serius harus diberikan terhadap isu capaian Internet dan komunikasi di luar bandar Sarawak seperti di kawasan persisiran pantai Batang Sadong yang kritikal. Akses kepada Internet ini sudah menjadi keperluan asas dalam kehidupan dan sangat penting bagi memastikan rakyat tidak ketinggalan daripada program ekonomi digital. Terima kasih kepada MCMC yang menyediakan kaunter untuk Ahli-ahli Parlimen bertanya tentang isu-isu yang berbangkit.
Saya mohon pihak Kementerian Komunikasi dan Digital dapat menyediakan peruntukan bajet yang lebih tinggi bagi pelaksanaan program JENDELA dalam fasa seterusnya di Sarawak terutama di kawasan Parlimen Batang Sadong dan pembinaan lebih banyak menara-menara baharu bagi kawasan yang masih kurang ataupun tiada liputan mobile broadband 4G. Diharap juga pihak KKD menyegerakan pelaksanaan projek fiber optik PoP bagi meliputi kesemua sekolah di kawasan Parlimen Batang Sadong.
Tuan Yang di-Pertua, bagi membantu meringankan beban rakyat, inisiatif Jualan Rahmah yang menawarkan barangan asas dengan harga 30 peratus lebih murah berbanding pasaran merupakan sesuatu yang baik. Penyediaan RM100 juta di setiap kawasan parlimen bagi menjayakan program ini perlu dilaksanakan dengan telus dan sampai terus kepada rakyat.
Peruntukan dana pembiayaan perniagaan wanita sebanyak RM235 juta juga turut tidak dilupakan bagi memperkasakan wanita dalam bidang perniagaan khususnya yang terlibat dalam perniagaan industri kecil dan sederhana di Sarawak.
Sebagai contoh, pemberian geran modal dapat membantu usahawan wanita untuk membeli peralatan dan bahan mentah untuk perniagaan mereka. Perusahaan sosial ini amat penting untuk mengurangkan kemiskinan tegar terutama di kawasan luar bandar.
Dimohon kementerian yang terlibat mengambil langkah segera dan mekanisme yang komprehensif bagi merealisasikan peruntukan bajet ini berhasil. Selain itu, di Sarawak termasuk di kawasan Batang Sadong mempunyai projek-projek penanaman kelapa sawit di bawah pengurusan FELCRA yang berjumlah hampir 13,000 hektar yang melibatkan hampir 9,000 orang peserta.
Projek ini dinamakan Ladang Rakyat di mana 90 peratus keuntungan sepatutnya diberikan kepada rakyat dan Ladang Sejahtera di mana 100 peratus keuntungan diberikan kepada rakyat melalui peruntukan daripada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah merupakan suatu inisiatif yang baik.
Akan tetapi, isu yang sentiasa dibangkitkan ialah pulangan dividen yang rendah.
Sebagai contoh, pada tahun 2022 purata setahun iaitu RM5,000 hingga RM13,000
Puan Rodiyah binti Sapiee - Batang Sadong
kepada setiap peserta. Ada juga ladang-ladang lama yang tidak beroperasi dan terbiar bahkan ada yang gagal melaksanakan tanggungjawab sosial korporat.
Batang Sadong mohon Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah bertindak untuk melihat semula polisi dan operasi FELCRA ke atas semua projek di Sarawak terutama daripada segi kos pengurusan dan pengeluaran untuk meningkatkan taraf ekonomi peserta yang terlibat yang melibatkan masyarakat kampung.
Tuan Yang di-Pertua, terima kasih diucapkan kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri atas peruntukan peningkatan bajet telah diberikan pada Sarawak. Saya minta masa selama dua minit, Tuan Yang di-Pertua.
Tuan Yang di-Pertua
Masa 20 minit?
Puan Rodiyah binti Sapiee - Batang Sadong
Dua minit.
Tuan Yang di-Pertua
Ah, okey.
Puan Rodiyah binti Sapiee - Batang Sadong
Dua minit sahaja...
[Ketawa] Terima kasih- iaitu sebanyak RM5.6 bilion berbanding RM4.4 bilion tahun 2020.
Tambahan lagi kini Sarawak telah menerima RM300 juta berbanding sebelum ini hanya RM32 juta, di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.
Ini menggambarkan Kerajaan GPS berjaya meyakinkan Kerajaan Persekutuan untuk peruntukan yang lebih baik. Saya amat kesal dengan kenyataan Yang Berhormat Stampin dalam Dewan yang mulia ini mengatakan merupakan oportunis dan gagal memperjuangkan hak Sarawak...
[Tepuk] Tuan Yang di-Pertua, saya meminta supaya Yang Berhormat Stampin memohon maaf kepada seluruh rakyat Sarawak, Presiden GPS dan seluruh wakil rakyat GPS dalam Dewan yang mulia ini. Perpaduan kita harus suburkan untuk mempertahankan keutuhan Kerajaan Perpaduan ini.
Akhir kata, besar harapan saya supaya isu-isu berkaitan yang dinyatakan diberi perhatian segera. Agihan bajet yang diperuntukkan perlu sampai kepada rakyat untuk menikmatinya.
Tuan Sabri bin Azit - Jerai
Sopan santun.
Puan Rodiyah binti Sapiee - Batang Sadong
Dengan ini, Batang Sadong mohon untuk menyokong pembentangan Belanjawan 2023. Sekian, terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua
Terima kasih, Yang Berhormat Batang Sadong. Sekarang saya jemput Yang Berhormat Baling.
Tuan Hassan bin Saad - Baling
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Tuan Yang di-Pertua, alhamdulillah syukur kepada Allah SWT saya diberi kesempatan untuk sama-sama untuk membahaskan mengenai belanjawan pada tahun ini.
Saya juga mengucap takziah kepada rakan-rakan kita yang ditimpa musibah banjir di negeri Johor Darul Takzim dan kita doakan mudah-mudahan mereka tabah dan sabar menghadapi ujian Allah SWT.
Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Tambun yang telah menyediakan sebuah belanjawan untuk negara. Saya berharap belanjawan pada tahun ini mampu membantu golongan-golongan miskin yang rata-ratanya merupakan golongan B40 terutama sekali di kawasan Baling dan negeri Kedah walaupun ramai yang menyambut pembentangan ini dengan rasa sayu dan sedih.
Tuan Yang di-Pertua, saya hanya mengambil untuk mengutarakan masalah yang dihadapi oleh penduduk di kawasan saya iaitu di kawasan Baling. Asas hasil negara masih
Tuan Hassan bin Saad - Baling
sama. Namun, belanjawan pada tahun ini dilihat tidak banyak membantu golongan penoreh-penoreh getah.
Harga getah masih rendah dan tidak mampu untuk menaik taraf hidup golongan penoreh yang rata-ratanya adalah orang kampung yang berada di luar bandar dan pedalaman. Penderitaan golongan ini seharusnya diutamakan oleh kerajaan untuk meningkatkan nilai harga yang dimohon sebelum ini iaitu harga lantai sebanyak RM3 sekilogram.
Tuan Yang di-Pertua, saya ingin mengimbas kembali peristiwa demonstrasi yang berlaku di Baling pada 19 November 1974, di mana rakyat Baling keluar beramai-ramai untuk menyatakan tentang kehidupan mereka yang begitu daif dan sempit. Demonstrasi yang pertama iaitu pada 19 November 1974 dan kemuncaknya pada 1 Disember 1974.
Pada masa itu, Yang Amat Berhormat Tambun juga bersama-sama memperjuangkan untuk harga getah dinaikkan. Harga pada masa itu- masa itu ia tidak pakai kilogram lagi, ia pakai sukatan kati- satu kati 15 sen atau 15 duit, sedangkan ikan tamban masin harga 60 sen. Jadi, makna kalau hendak dapat satu kati harga ikan kena ada empat kati getah.
Tuan Hassan bin Saad - Baling
Ada di kalangan rakyat Baling yang makan ubi kayu, masuk ke bukit cari gadung dan sebagainya, tetapi alhamdulillah pada masa itu Almarhum Tun Abdul Razak yang menjadi Perdana Menteri telah mengarahkan Tun Musa Hitam untuk turun ke Baling menyantuni penduduk Baling atas masalah yang mereka menghadapi. Alhamdulillah, selepas sehari, maka kerajaan telah mengumumkan harga getah dinaikkan serta-merta.
Jadi, rakyat Baling berasa lega dengan apa yang telah diusahakan oleh Yang Amat Berhormat Almarhum Tun Abdul Razak.
Jadi pada tahun itu, bersama-sama ialah Yang Amat Berhormat Tambun. Jadi, takkanlah kali ini Yang Amat Berhormat Tambun tidak boleh bagi lebih daripada RM2.70?
Lagi tiga kupang sahaja. Sebab, kalau kita tengok harga sekarang RM2.70 satu kilogram, kalau dibahagikan dua dengan tuan punya kebun, dia hanya dapat RM1.35 sahaja. Kalau dia menoreh dapat 30 kilogram satu hari, makna dia hanya dapat satu hari RM40.50 dan dia hanya dapat satu bulan RM648. Jumlah RM648 ini apa yang boleh dibuat oleh seorang penoreh?
Saya didatangi oleh seorang penoreh. Dia menceritakan bahawa dia mempunyai empat orang anak. Jadi, satu hari RM3 untuk anak yang belajar, makna dia terpaksa keluar RM12 sehari. Kalau RM12 sehari darab dengan lima- jadi, dia tidak mampu. Dia kata dia bagi anak dia dua orang- hari Isnin, Selasa, Rabu, dua orang pergi mengaji, dan dua orang lagi rehat. Pada Rabu dan Khamis, dua orang lagi pergi mengaji dan hat tiga lagi direhatkan. Dia cerita bahawa dia keluar ke bandar atau pekan untuk membeli makanan. Dia kata dia cari di mana tempat ikan dan sayur yang paling murah.
Keadaan dan suasana ini kalau hendak bandingkan dengan tahun 1974, sekarang lebih teruk daripada tahun 1974. Jadi, apalah salahnya kerajaan menimbang semula harga getah yang telah dinaikkan sebanyak 20 sen- 20 sen ini dibahagikan dengan dua, penoreh hanya boleh 10 sen sahaja.
Tuan Yang di-Pertua, Peristiwa Baling berlaku 19 November 1974. Peristiwa ini merupakan peristiwa yang bersejarah. Selepas 11 tahun, Peristiwa Memali berlaku juga pada 19 November 1985. Kemudian 19 November 2022, cipta lagi sejarah iaitu PN menang di Baling dengan majoriti yang kita tidak sangka-sangka. Apakah pula yang berlaku pada 19 November 2023?
Tuan Yang di-Pertua, kedua yang saya ingin bangkitkan ialah berlakunya banjir pada tahun lepas memberi kesan yang begitu banyak daripada segi harta benda, nyawa dan sebagainya. Banyak jambatan atau titi-titi yang runtuh sampai hari ini pun masih belum dibaiki. Ada 17 buah jambatan- 17 titi yang runtuh. Yang paling besar ialah titi di Kampung Padang Cina yang menjadi laluan utama ini runtuh sebelum daripada banjir itu.
Jadi saya harap kerajaan perlu mengambil tindakan segera kerana ada di kalangan rakyat
Tuan Hassan bin Saad - Baling
Baling yang tebang pokok nyiur, pokok kelapa, usung bawa pergi buat titi sementara untuk mereka lalu untuk kerja dan anak-anak ke sekolah. Amat menyedihkan.
Seterusnya ialah Baling- minta lebih sedikitlah. Baling mempunyai seluas 1,530 kilometer persegi. Jumlah penduduknya 156,000, balai bomba hanya ada satu. Kalau hendak dikira dari Tanjung Pari sampai ke Sedim, hampir boleh jamak sembahyang. Balai bomba ada satu. Bila berlaku musibah kebakaran, banjir, jadi anggota menghadapi masalah yang cukup banyak. Jadi kadang-kadang kebakaran tidak dapat diselamatkan.
Oleh itu, saya memohon kepada kerajaan supaya menambahkan satu lagi balai bomba di Baling untuk tugas-tugas yang dihadapi oleh pegawai-pegawai bomba.
Ketiga ialah balai polis. Balai Polis Baling okey tetapi balai polis mukim. Saya rasa Balai Polis Kupang itu dibina sejak merdeka lagi sampai la. Saya pergi ziarah tempat mereka dok bertugas begitu sempit dan tidak ada ruang untuk mereka berehat dan sebagainya. Jadi, kementerian perlu mengambil langkah-langkah yang terbaik untuk meningkatkan khidmat anggota polis yang bekerja begitu baik. Terpaksa menggadaikan masa dan nyawa mereka demi kepentingan negara. Sekadar itu. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Tuan Yang di-Pertua
Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Baik, saya jemput Yang Berhormat Selangau.
Tuan Edwin anak Banta - Selangau
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua kerana memberi Selangau peluang untuk mengambil bahagian dalam perbahasan peringkat dasar Rang Undang-undang Perbekalan 2023.
Pertama sekali, saya ingin mengucapkan syabas kepada Yang Amat Berhormat Menteri Kewangan yang telah membentangkan Bajet Madani yang menyeluruh dan memfokuskan people-centric, dengan izin, mengutamakan keselesaan rakyat dan good governance untuk mengurangkan ketirisan dan pembaziran serta keinginan mengatasi masalah kos sara hidup yang kian meningkat.
Tuan Yang di-Pertua, bagi penduduk Wilayah Sarawak, peruntukan pembangunan sebanyak RM5.6 bilion adalah insignificant, dengan izin, kerana jumlah yang tersebut tidak ada bezanya dengan jumlah yang diberikan pada tahun-tahun sebelumnya. Namun, disebabkan oleh peredaran zaman, kos pelaksanaan yang meningkat, harga barang yang semakin mahal, maka peruntukan yang diberikan bukanlah jumlah yang diharapkan oleh penduduk di Wilayah Sarawak.
Tuan Yang di-Pertua, dengan peruntukan hanya sebanyak RM5.6 bilion, pembangunan pelaksanaan projek-projek bertemakan kemudahan asas dan program- program meningkatkan sosioekonomi dan taraf hidup masyarakat di kawasan luar bandar akan terbantut atau lambat dilaksanakan.
Tuan Edwin anak Banta - Selangau
Ini bermakna kita tidak akan dapat merapatkan perbezaan jurang pembangunan di antara luar andar dan bandar dan di antara Sarawak dan Semenanjung. Justeru itu, jurang tersebut akan menjadi lebih luas dan ini amat memerlukan perhatian yang serius.
Maka, year in and year out kita akan bercerita benda yang sama, masalah yang sama, isu yang sama.
Tuan Yang di-Pertua, di Sarawak dan khususnya di Selangau, terdapat kumpulan etnik minoriti seperti Dayak Iban, Orang Ulu kaum Punan di Kakus, Orang Ulu kaum Kenyah di Long Beyak, Orang Ulu kaum Baketan di Anap dan kaum-kaum lain yang mendambakan pembangunan infrastruktur khasnya sistem jalan raya yang baik bagi menghubungkan kawasan mereka dengan masyarakat luar. Jalan raya yang diperlukan oleh mereka walaupun tidak semestinya diturap, tidak semestinya gred A dengan izin, gravel road pun sudah memadai. Sebagai Wakil Rakyat kepada kumpulan-kumpulan etnik minoriti ini, saya merayu agar keluh kesah mereka diberi perhatian sewajarnya kerana
Tuan Edwin anak Banta - Selangau
mereka juga berhak untuk menikmati kemudahan asas dan pembangunan yang sama seperti penduduk lain di negara yang tercinta ini.
Tuan Yang di-Pertua, sehubungan itu, projek jalan raya Ulu Mukah dan Sangan- Merit di Parlimen Selangau yang pernah diumumkan beberapa tahun yang lalu harus dimulakan dengan segera. Selain itu, Jalan Sekuau, Ulu Oya, Pakoh juga perlu dirancang dengan teliti agar kawasan Ulu Oya-Pakoh yang seluas 40,000 hektar yang masih dalam keadaan hutan rimba dan berpotensi untuk dibangunkan dan diusahakan dapat mendatangkan hasil. Kawasan yang disebutkan amat berpotensi untuk dibangunkan memandangkan kawasan yang akan dilalui jalan Ulu Mukah, Sangan-Merit dan Ulu Oya- Pakoh merupakan nadi kepada Parlimen Selangau yang merangkumi satu pertiga keseluruhan jumlah rumah panjang atau penduduk Parlimen Selangau.
Begitu juga dengan Skim Penempatan Semula RASCOM Sekuau yang menempatkan penduduk yang berasal dari Ulu Oya dan Pakoh yang dipindahkan dan ditempatkan semula di kawasan baharu iaitu di Sekuau pada tahun 70-an oleh kerajaan berikutan dengan isu sekuriti akibat dengan ancaman komunis. Kerajaan harus membuka kawasan asal mereka dan menyediakan infrastruktur supaya mereka boleh balik semula ke kawasan asal dan seterusnya mengusahakan tanah-tanah yang lama ditinggalkan dan terbiar semenjak tahun 1970-an. Ini adalah two-pronged strategy, dengan izin, yang memberikan peluang kepada penduduk Sekuau untuk hidup dengan lebih selesa dan tidak sesak sambil dapat membangunkan atau mengusahakan tanah mereka.
Tuan Yang di-Pertua, kegagalan kerajaan melaksanakan projek-projek rakyat yang telah diumumkan seperti loji air Stapang dan jalan Ulu Mukah tujuh tahun yang lalu amatlah menyedihkan. Kini, rakyat mempunyai harapan yang menggunung agar Kerajaan Perpaduan Madani ini dapat memulakan projek-projek berimpak tinggi tersebut tanpa berlengah-lengah lagi.
Tuan Yang di-Pertua, disebabkan ketiadaan jalan raya di Ulu Mukah, maka penduduk-penduduk dari 36 buah rumah panjang terpaksa menggunakan perahu panjang dengan enjin bot melalui jeram di hulu Sungai Mukah dan mengambil masa sekurang- kurangnya lapan jam untuk sampai di pekan Selangau untuk urusan kerajaan, ke klinik atau menjual hasil tanam-tanaman.
Tuan Yang di-Pertua, jambatan-jambatan balak yang dibina oleh syarikat konsesi balak juga semakin hari semakin reput dan tidak lagi diselenggarakan oleh syarikat balak dan perlu diganti dengan jambatan konkrit atau mild steel, dengan izin. Sebanyak 12 buah jambatan di Parlimen Selangau yang perlu diganti atau dibaiki. Sehubungan dengan itu, dianggarkan sebanyak RM25 juta diperlukan untuk memperbaiki semua jambatan di Selangau. Skop kerja tidak besar, tetapi amat diperlukan oleh masyarakat luar bandar untuk berhubung dengan dunia luar.
Tuan Yang di-Pertua, besarlah harapan masyarakat Dayak di Sarawak sekiranya Yang Amat Berhormat Menteri Kewangan dan Kerajaan Perpaduan Madani mempertimbangkan agar bantuan khas diberi atau disalurkan kepada masyarakat Dayak agar mereka dapat memajukan diri:
(i) bantuan kewangan untuk peniaga, pengusaha, kontraktor dan petani moden;
(ii) menambahkan peruntukan atau geran pada Sarawak Housing Development Corporation (HDC) untuk memberi pinjaman pembinaan rumah panjang baharu, atau memperbaiki rumah panjang yang sedia ada untuk decent dwelling, dengan izin;
(iii) memberi geran khas kepada Kerajaan Sarawak untuk mengukur Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) agar hak miliknya dapat dikeluarkan;
(iv) bantuan untuk para pelajar yang hendak melanjutkan pelajaran ke IPTA, IPTS di Semenanjung Malaysia; dan
(v) bantuan kewangan kepada sekolah mubaligh atau mission schools di Sarawak.
Tuan Edwin anak Banta - Selangau
Tuan Yang di-Pertua, untuk isu klinik daif dan kesihatan awam, Hospital Tatau mengalami masalah seperti kekurangan katil, kakitangan dan fasiliti-fasiliti lain. Hospital Tatau perlu diperbesarkan lagi untuk menampung pertambahan penduduk di Tatau seramai 31,000 orang. Selain daripada itu, saya memohon agar kerajaan mempertimbangkan untuk meluluskan cawangan atau kiosk bank seperti BSN, Agrobank atau Bank Rakyat demi keselesaan rakyat Tatau. Walaupun kita ada penduduk seramai 31,000 orang di Tatau, tidak ada satu pun cawangan bank yang ada. Kita terpaksa pergi ke Bintulu yang mengambil masa selama satu jam untuk traveling dan kos untuk pergi adalah tinggi.
Tuan Yang di-Pertua, saya juga ingin menyentuh dan seterusnya memohon untuk memperkasakan program pendigitalan pengajaran dan pembelajaran melalui televisyen pintar- smart TV di sekolah-sekolah di Parlimen Selangau. Kita sedia maklum bahawa proses pengajaran dan pembelajaran tidak dapat bergantung sepenuhnya pada talian internet khususnya sekolah-sekolah di kawasan pedalaman.
Justeru, saya ingin memohon untuk mengadakan pelaksanaan projek pendigitalan pengajaran dan pembelajaran dengan menyediakan sekurang-kurangnya 200 buah smart TV di Parlimen Selangau.
Selain daripada mengharapkan peruntukan yang lebih baik, kita juga amat mengharapkan agar projek delivery, dengan izin, sentiasa diutamakan. Lazimnya kerenah birokrasi dalam melaksanakan sesuatu projek sering menjadi hambatan dalam projek delivery ini, baik yang berkaitan dengan kerajaan negeri atau Kerajaan Persekutuan.
Maka, kita ingin mengingatkan semua pihak yang bertanggungjawab, baik kakitangan kerajaan ataupun pihak pelaksana dan kontraktor hendaklah mengambil iktibar daripada rungutan rakyat tentang kelewatan sesuatu projek untuk disiapkan. Janganlah nanti kita juga akan dicap sebagai semua sama sahaja, tidak buat kerja.
Akhir sekali Tuan Yang di-Pertua, saya sebagai wakil rakyat Selangau amat berharap agar Kerajaan Perpaduan Madani dapat mempertimbangkan permintaan- permintaan tersebut yang amat diperlukan oleh rakyat Sarawak dan Selangau khasnya, dengan menambahkan peruntukan yang lebih munasabah bagi wilayah Sarawak dan tidak sekadar RM5.6 bilion itu sahaja. Tidaklah seperti yang didakwa oleh rakan saya dari Stampin bahawa kami senyap sahaja kerana bagi kami peruntukan tersebut memang tidak mencukupi dan harus ditambah.
Sebagai Ahli Dewan Rakyat dari Sarawak, saya mengesyorkan agar Yang Berhormat Stampin menyokong usul peruntukan Sarawak ditambah dan tidak meragui keikhlasan GPS dalam membentuk Kerajaan Perpaduan Madani. Sekian, terima kasih...
[Tepuk]
Tuan Yang di-Pertua
Terima kasih Yang Berhormat Selangau. Sekarang saya jemput Yang Berhormat Beluran.
Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee - Beluran
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Saya melihat hari ini Tuan Yang di-Pertua cuma dengan Yang Berhormat Lanang, bergilir ganti bekerja.
Tuan Yang di-Pertua
Dua orang sahaja. Kesian kami.
Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee - Beluran
Saya rasa, cadangan dua tahun yang lalu untuk menambah satu lagi Timbalan Yang di-Pertua untuk Dewan Rakyat perlu dipersetujui oleh Tuan Yang di-Pertua.
Tuan Yang di-Pertua
Insya-Allah.
Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee - Beluran
Saya pernah duduk sana. Memang betul, dua Timbalan Yang di-Pertua tidak mencukupi untuk Dewan Rakyat, dan boleh ditambah.
Tuan Yang di-Pertua
Mohon.
Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee - Beluran
Tambahan itu mesti datang dari Blok Pembangkang Tuan Yang di-Pertua...
[Ketawa] Semalam dikatakan genap 100 hari kerajaan Yang Amat Berhormat Tambun- semalam, dua hari lalu. Kalau kita lihat, banyak penulisan oleh akhbar-akhbar tempatan yang menulis tentang 100 hari kerajaan Yang Amat Berhormat Tambun. FMT umpamanya menulis tentang Hits and Misses Kerajaan Yang Amat Berhormat Tambun. Malay Mail menulis tentang What Anwar’s Administration Got Right and What It Hasn’t. Banyak tulisan dua hari dan semalam.
Saya sempat membaca beberapa penulisan itu tetapi saya tidak bermaksud untuk mengulas penulisan. Cuma terpanggil untuk melihat perbahasan di Dewan ini terutama menjelang 100 hari ini, perbahasan antara Ahli-ahli Parlimen Sarawak termasuk Yang Berhormat Selangau yang terakhir tadi terhadap ucapan Yang Berhormat Stampin, ucapan Yang Berhormat Stampin, Yang Berhormat Serian, Yang Berhormat Betong, Yang Berhormat Sri Aman, Yang Berhormat Selangau berucap tentang Yang Berhormat Stampin, rasa tidak puas hati tentang Yang Berhormat Stampin.
Jadi, nampak sedikit ‘keberhentaman’ antara ahli-ahli GPS dengan Blok Kerajaan.
Baharu 100 hari Tuan Yang di-Pertua. Rupanya sudah ada bibit-bibit berhentaman antara satu dengan yang lain. Tidak tahulah, dikatakan unity government- perpaduan tetapi nampak bibit. Rupanya tidak semua bunga ros dekat sana. Ada bunga tahi ayam juga.
Jadi baru 100 hari sudah berhentaman. Saya cuma nasihatkan Ahli-ahli Parlimen GPS, kalau tidak puas hati, tidak senang duduk dekat sana, banyak Kerusi di blok sini, boleh *join...
[Tepuk]* Kami di sini boleh duduk satu bantal, tidur sebantal, dan mimpi yang sama Tuan Yang di-Pertua. Di sini tiada rasa sakit jantung, tidak perlu gunakan 10 minit untuk berbahas dan bersindir-sindir antara satu dengan yang lain. Itu beza di blok sini.
Tuan Lee Chean Chung - Petaling Jaya
Usik-usik, biasalah.
Tuan Yang di-Pertua
Bukan batu ronsom?
Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee - Beluran
Bukan. Jadi bererti, kerajaan marriage of convenience ini ia boleh mengundang pelbagai konflik yang boleh menyebabkan Ahli-ahli Parlimen sebelah sana sakit hati dan sakit jantung. Itu boleh join kami di sini. Tuan Yang di-Pertua boleh duduk sanalah, tidak mengapa.
Belanjawan 2023 tentu sekali amat ditunggu-tunggu Tuan Yang di-Pertua. Apatah lagi peluang untuk kerajaan di bawah pimpinan Yang Amat Berhormat Tambun, seorang yang melaungkan reformasi hampir 30 dekad untuk membuktikan melalui belanjawan ini satu komitmen untuk melunaskan janji manifesto parti ketika dalam kerajaan pada ketika ini.
Akan tetapi ternyata bukan sahaja tidak menunaikan banyak janji manifesto tetapi banyak permintaan dan harapan terutama untuk mengurangkan kos sara hidup tidak terjawab. Kita tahu ada Rahmah, ada nasi lemak vending machine dan kita harapkan agar menu Rahmah dan vending machine nasi lemak ini dapat mengurus masalah kos sara hidup yang sedang dialami rakyat pada ketika ini.
Pensyarah daripada UUM, Dr. Sunjan berkata, bajet yang lebih besar adalah mengkhuatirkan. Beliau berkata, hutang negara dijangka akan mencecah 60 peratus daripada KDNK dan berharap supaya keadaan hutang seperti di Sri Lanka tidak akan berlaku di Malaysia. Itu menurut pensyarah daripada UUM.
Jangan lupa bahawa terdapat banyak keluhan golongan M40 sama ada di sektor awam ataupun sektor swasta yang sedang terbeban dan dihimpit dengan kos sara hidup yang tinggi serta dihambat komitmen bulanan yang semakin meningkat. Apatah lagi mereka terbeban disebabkan oleh kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR). Ini yang menyebabkan Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja di dalam Perkhidmatan Awam
(CUEPACS) menyatakan rasa kecewa apabila Bajet 2023 dilihat tidak mampu menyelesaikan tekanan kos sara hidup yang dihadapi oleh penjawat awam dan tiada
Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee - Beluran
komitmen yang disuarakan oleh kerajaan untuk menilai semula Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam.
Belanjawan ini banyak memberi fokus kepada quick wins yang berjangka pendek tetapi rancangan jangka pertengahan dan jangka panjang untuk tangani isu ekonomi secara menyeluruh termasuk dalam aspek pengagihan pendapatan mahupun isu perlindungan sosial. Ini rata-rata komen dan maklum balas oleh pakar-pakar ekonomi di luar sana. Malah Belanjawan 2023 yang menurunkan sasaran defisit kepada 5 peratus tetapi menaikkan perbelanjaan pembangunan kepada RM97 bilion turut dianggap oleh sesetengah pakar ekonomi terlalu optimistik.
Apa pun Tuan Yang di-Pertua, saya menyokong penuh iltizam kerajaan untuk menoktahkan kemiskinan tegar tanpa mengira latar belakang, kaum untuk keluar daripada belenggu kemiskinan melalui langkah yang lebih menyeluruh. Saya minta penjelasan, apa inisiatif secara terperinci, bagaimana iltizam menoktahkan kemiskinan tegar akan dapat dicapai selain Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) dengan peruntukan sebanyak RM750 juta dan beberapa inisiatif lain seperti yang dinyatakan oleh Yang Amat Berhormat Tambun.
Ini penting kerana usaha menoktahkan kemiskinan tegar memerlukan satu pendekatan yang komprehensif dan tidak boleh dilakukan secara piecemeal. Apatah lagi, kalau matlamatnya supaya 130,000 individu miskin tegar dikeluarkan daripada belenggu kemiskinan dalam tahun 2023 juga.
Pendekatan keseluruhan negara atau whole-of-nation approach diperlukan yang saya tidak lihat dinyatakan dalam belanjawan ini. Pendekatan perlu dari bawah ke atas, perlu mengenal pasti masalah setempat, local problems, membuat penyelesaian setempat serta penyelesaian kemiskinan secara bersasar bukannya one-size-fits-all diguna pakai. Inisiatif yang diketengahkan perlulah dirangka secara holistik dan menyeluruh.
Kerajaan sebelum ini Tuan Yang di-Pertua, dalam rangka program Pembasmian Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia (BMTKM) untuk dilaksanakan selama tiga tahun dan enam bulan di seluruh negara bermula April 2022 sehingga tahun 2024. Sebanyak 1,000 lokaliti dikenal pasti bagi mencapai matlamat membasmi kemiskinan tegar pada tahun 2025 dengan peruntukan perbelanjaan pembangunan di bawah UPE, Jabatan Perdana Menteri berjumlah RM1.5 bilion. Ini kerajaan yang lalu. BKBNTKM bertujuan untuk mencapai sasaran kemiskinan tegar sifar pada tahun 2025 seperti yang telah digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-12.
Dalam konteks menoktahkan kemiskinan tegar, kerajaan sebelum ini telah merangka pelan yang komprehensif, malah sudah dimulakan pelaksanaannya. Jadi, kenapa, why program ini tidak diteruskan atau ditambah baik mana yang perlu kalau kerajaan serius dalam menangani isu kemiskinan tegar? Mengapakah perlu reinvent the wheel tanpa pendekatan yang spesifik? Tentu pihak kami ingin tahu sejauh mana komitmen kerajaan untuk menoktahkan kemiskinan tegar menjelang tahun 2023 ini.
Seperti saya katakan dalam pencelahan saya dengan Yang Berhormat Larut, saya berharap agar kawasan Beluran sendiri dijadikan antara kawasan tumpuan untuk mencapai hasrat ini. Apatah lagi Beluran merupakan antara dua buah daerah di Sabah yang mencatatkan insiden kemiskinan dua digit iaitu 12.1 peratus seperti yang dianalisiskan dalam Rancangan Malaysia Kesebelas.
Beluran juga di antara 10 lokaliti yang telah dikenal pasti di bawah Fasa 1, Program Pembasmian Kemiskinan tegar Keluarga Malaysia (BKTKM) ini. Beluran termasuk Tuan Yang di-Pertua. Jadi, saya harap agar hasrat dan iltizam untuk membasmi kemiskinan tegar akan melibatsertakan Kawasan Parlimen Beluran.
Ada beberapa perkara yang perlu saya highlight yang kerajaan perlu ambil. Antara perkaranya merupakan perkara yang sering dibangkitkan oleh Yang Amat Berhormat Tambun dan rakan-rakan sebelah sana ketika berada di sini. Jawatankuasa Pilihan Kewangan perlu diwujudkan di Parlimen. Ramai Ahli Parlimen terlibat serta dalam perbahasan bajet tetapi apakah cadangan dan teguran Ahli Parlimen itu dapat diambil kira oleh kerajaan yang boleh merubah pembentangan bajet?
Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee - Beluran
Jadi, kita perlu wujudkan satu Jawatankuasa Pilihan Kewangan- Finance Standing Committee di peringkat Parlimen bagi memberi pelaung kepada Ahli-ahli Parlimen menyuarakan pendapat sebelum bajet dibentangkan. Itu Tuan Yang di-Pertua pun menyuarakan ketika duduk di sebelah sini.
Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee - Beluran
Peruntukan yang sama kepada semua Ahli Parlimen. You have advocated this.
Ahli-ahli Parlimen duduk di sana sentiasa bercakap tentang keperluan untuk mendapat peruntukan yang sama bagi semua Ahli Parlimen. BN dulu tidak buat kerana BN rasakan bahawa mereka akan duduk di sana sepanjang hayat. Oleh sebab itu bila ada cadangan daripada pembangkang, ia tidak dibuat.
Akan tetapi, kerajaan yang ada sekarang ini berasal dari Blok sini. You understand better bahawa peruntukan yang sama rata bagi semua diperlukan kerana duduk di sana itu tidak kekal. Nanti esok duduk sebelah sini. Ada peruntukan yang dijadikan salah satu instrumen undang-undang. Dibuat melalui peruntukan pindaan Perlembagaan Persekutuan ataupun peraturan mesyuarat untuk meletakkan satu instrumen yang kekal.
Jadi, kalau ada pertukaran kerajaan, peruntukan Ahli Parlimen itu kekal untuk dibagi serata bagi semua Ahli Parlimen.
Kedudukan Ketua Pembangkang, yang ini jadi sorakan oleh blok Yang Berhormat ketika duduk sebelah sini bahawa kedudukan Ketua Pembangkang itu mesti dijadikan sebagai satu instrumen yang jelas. Jadi, bukan sahaja kedudukannya sebagai Senior Minister tetapi perks yang datang bersama daripada segi ketersediaan, researcher, pegawai dan sebagainya. Seperti Parlimen-parlimen Komanwel lain yang meletakkan satu kedudukan yang sama taraf, yang penting bagi kedudukan Ketua Pembangkang. Itu antara beberapa perkara yang perlu diambil kira oleh kerajaan di bawah kepimpinan Yang Amat Berhormat Tambun.
Pelantikan Timbalan Yang di-Pertua yang ketiga itu penting dan ia harus datang dari blok sini. Jadi, Tuan Yang di-Pertua akan kekal, ada dua Timbalan Yang di-Pertua daripada kerajaan dan seorang Timbalan Yang di-Pertua dari blok sini akan mengharmonikan Parlimen. Apabila duduk sana Tuan Yang di-Pertua, tidak ada cara dan kuasa untuk memberi advantage kepada mana-mana pihak. Jadi, walaupun Timbalan Tuan Yang di-Pertua ketiga dilantik daripada pembangkang, dia akan berfungsi sebagai Timbalan Tuan Yang di-Pertua daripada kerajaan dan Timbalan Tuan Yang di-Pertua, the Chair yang berlaku adil kepada semua Ahli Parlimen. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Tuan Yang di-Pertua
Insya-Allah. Terima kasih, Yang Berhormat Beluran. Saya jemput Yang Berhormat Seputeh.
Puan Teresa Kok Suh Sim - Seputeh
Terima kasih, Tuan Yang di-Pertua kerana memberi peluang kepada saya untuk menyampaikan ucapan dalam perbahasan bajet ini.
Tuan Yang di-Pertua, saya ingin sebutkan masalah pelancong asing di imigresen di lapangan terbang kita. Pelancongan adalah satu- industri yang sangat penting bagi kita untuk merancakkan ekonomi negara. Saya mengalu-alukan inisiatif Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya mewujudkan kaunter khas ataupun helpdesk bagi pelancong dari Negara China di lapangan terbang antarabangsa kita.
Pewujudan kaunter khas bagi pelancong dari negara China adalah amat perlu kerana sebelum ini terdapat banyak laporan yang negatif berkenaan dengan layanan buruk yang dihadapi oleh pelancong China di imigresen di KLIA yang disebabkan oleh masalah miscommunication ataupun komunikasi. Kesemua berita dan tulisan dalam media sosial yang negatif ini memang telah menjejaskan usaha kerajaan untuk menarik kedatangan pelancong dari negara China dan malah pelabur asing ataupun pelabur dari negara China ke Malaysia.
Puan Teresa Kok Suh Sim - Seputeh
Tuan Yang di-Pertua, saya pernah mendapat beberapa aduan daripada pelancong asing ke Malaysia yang dilarang masuk oleh imigresen di KLIA dan malah dimasukkan dalam lokap imigresen. Antara alasan yang diberi oleh Pegawai Imigresen- merupakan pelawat asing tidak membawa wang tunai yang cukup dan mereka disyaki untuk masuk bekerja secara haram di Malaysia. Dalam beberapa aduan yang saya terima, pelawat-pelawat asing tersebut memang mempunyai kawan yang merupakan warga Malaysia yang menunggu mereka di KLIA yang sudi memberi penjelasan kepada pihak imigresen. Akan tetapi, pegawai imigresen tidak layan rayuan warga Malaysia tersebut malah masukkan mereka ke lokap imigresen.
Tuan Yang di-Pertua, sekiranya imigresen kita mengehendaki pelawat asing membawa amaun wang tunai tertentu apabila mereka masuk ke Malaysia, maka maklumat tersebut haruslah dipaparkan di dalam laman web imigresen ataupun di laman web agensi pelancongan ataupun kita harus buat macam semua orang tahu apabila mereka naik kapal terbang yang ke Malaysia, yang mana pramugari akan membuat pengumuman bahawa dadah adalah dilarang di Malaysia dan siapa yang membawa dadah masuk ke Malaysia, mereka akan digantung sampai mati. Jadi, kita selalu dengar announcement seperti ini dibuat dalam kapal terbang.
Jadi, ini haruslah sama juga bagi kita untuk paparkan maklumat ini. Saya faham mungkin ini adalah satu requirement bagi imigresen kita tetapi ramai tidak tahu termasuk warga Malaysia, tidak tahu. Jadi, masalah seperti ini berlaku. Kalau kita hendak gunakan undang-undang untuk halau pendatang atau pelawat asing, tidak akan hanya membawa impression, imej yang buruk bagi negara kita.
Tuan Yang di-Pertua, masalah kekurangan pegawai imigresen di kaunter imigresen di KLIA telah menyebabkan ramai pelancong asing terpaksa beratur dan tunggu lama dan telah pun banyak dilaporkan di media. Ia malah menjadikan bahan lawak oleh pelawak kita, Harith Iskander baru-baru ini.
Selain itu, hotline Imigresen yang bernombor 03-87763679 atau 3681 ataupun 9305 selalu tidak dijawab oleh sesiapa dan menjadikan perkhidmatan imigresen kelihatan tidak mesra bagi mereka, dalam kaca mata pelawat asing. Seseorang warga asing- apabila seseorang warga asing disenaraihitamkan oleh pihak imigresen, mereka selalu tidak dimaklumkan sebelum ini. Sebelum mereka masuk ke Malaysia, mereka juga tidak diberitahu sebab mereka disenaraihitamkan oleh pegawai imigresen.
Tuan Oscar Ling Chai Yew - Sibu
Yang Berhormat Seputeh, Sibu sini. Sibu.
Puan Teresa Kok Suh Sim - Seputeh
Ya, Yang Berhormat Sibu.
Tuan Oscar Ling Chai Yew - Sibu
Saya juga ingin mencelah bahawa di KLIA juga kita dapati banyak pelawat yang datang ke Malaysia, mereka harus membawa cash atau tunai berapa baru boleh masuk. Kalau tidak membawa cash atau tunai yang mencukupi, mereka akan dihalang untuk memasuki Malaysia. Ini merupakan satu peraturan yang saya rasa sudah ketinggalan zaman dan harus dihapuskan.
Puan Teresa Kok Suh Sim - Seputeh
Saya setuju kerana kita sekarang dalam cashless society, yang mana kita gunakan kad kredit dan kita adakan apps membuat bayaran. Jadi, syarat seperti ini sebenarnya adalah tidak perlu diadakan.
Saya di sini hendak teruskan tentang mereka yang disenaraihitamkan. Saya hendak kongsi akan satu insiden yang berlaku kepada seorang pelajar wanita dari Papua New Guinea yang ingin datang ke Malaysia untuk menghadiri konvokesyen dalam satu buah kolej di Selangor. Jadi, pelajar wanita ini pernah duduk melampaui tempoh kebenaran ataupun overstay di Malaysia dalam tempoh PKP kerana pandemik COVID.
Selepas dia bayar denda RM3,000 dan tinggalkan Malaysia, dia tidak tahu yang dia sebenarnya disenaraihitamkan. Apabila dia balik, dia tidak dibenarkan masuk.
Jadi, walaupun- jadi, yang pihak Imigresen sebenarnya hantar dia ke lokap imigresen hendak minta dia balik. Jadi, yang kedutaan Papua New Guinea, diplomatnya datang ke KLIA untuk bail, untuk buat jaminan bagi dia keluar untuk menghadiri konvokesyen dan selepas itu balik ke negara asal beliau. Akan tetapi, ini juga ditolak dan juga banyak kekecohan berlaku pada waktu itu.
Puan Teresa Kok Suh Sim - Seputeh
Tuan Yang di-Pertua, saya rasa semua ini sebenarnya kita boleh elakkan. Macam mana kita tidak layan diplomat asing yang datang ke KLIA untuk cuba bagi jaminan bagi warganya. Jadi, saya juga ingin tanya, adakah kesemua orang asing di Malaysia yang overstay di Malaysia ini, adakah semuanya, mereka akan disenaraihitamkan kah? Saya hendak minta jawapan daripada Menteri.
Di sini saya bangkitkan isu-isu ini, sebenarnya, saya juga hendak katakan saya menghargai perkhidmatan dan juga bantuan Ketua Pengarah Imigresen dan juga beberapa orang pegawai imigresen yang saya kenali. Mereka memang pernah tolong saya bila saya hantar kes-kes kepada mereka. Saya hargai kesemua bantuan mereka tetapi saya rasa ini adalah tidak cukup kerana imigresen memang- wajah Malaysia kepada orang asing.
Puan Teresa Kok Suh Sim - Seputeh
Saya ingin cadangkan yang Jabatan Imigresen menubuhkan satu Unit Komunikasi yang memberi penerangan dalam pelbagai bahasa lengkap kepada pelawat ataupun pekerja asing dalam laman web Imigresen Malaysia ataupun laman web Pelancongan Malaysia supaya mereka tahu segala peraturan dan undang-undang negara kita sebelum mereka masuk ke Malaysia. Saya percaya usaha ini akan membantu usaha Kementerian Pelancongan dan juga MITI untuk menarik masuk pelancong dan juga pelabur asing.
Selain itu, saya juga menyeru imigresen menubuhkan kaunter khas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sama seperti apa yang dilakukan oleh Kementerian Pelancongan dan juga meletakkan pegawai imigresen yang lebih mesra dan lebih sabar untuk bekerja di kaunter khas di KLIA tersebut, untuk membantu mereka orang asing sama ada pekerja asing ataupun pelawat asing bila mereka menghadapi masalah di imigresen, dengan Imigresen Malaysia.
Tuan Yang di-Pertua, di sini saya hendak bangkitkan saya hendak kata, saya mengalu-alukan keputusan kerajaan untuk membenarkan pengambilan pekerja asing ke negara kita untuk mengatasi masalah kekurangan tenaga kerja di sektor perkilangan, perladangan dan juga pembantu rumah. Saya menyambut baik pengumuman Yang Amat Berhormat Perdana Menteri tentang penghapusan agensi pekerjaan ataupun orang tengah dalam kes pengambilan pembantu rumah.
Di sini saya ingin membangkitkan isu yang telah lama dibangkitkan oleh UNHCR dan juga NGO iaitu adalah membenarkan pelarian asing yang pegang kad UNHCR untuk memohon permit kerja di Malaysia. Tuan Yang di-Pertua mengikut laman web UNHCR Malaysia yang kita mempunyai 181,000 orang pelarian yang mencari perlindungan di Malaysia di antaranya 85 peratus dari Myanmar dan lain adalah dari 50 negara Islam di seluruh dunia.
Jadi di sini saya hendak cadangkan, memandangkan kita memang perlu tenaga kerja asing dalam beberapa sektor di negara kita kenapa kita tidak memberi permit kerja secara sementara kepada pelarian-pelarian ini? Sekarang kita lihat pelarian dari Rohingya ini sudah sampai generasi yang kedua dan juga ketiga dan di antara anak-anak generasi muda pelarian ini 45,650 orang adalah kanak-kanak di bawah umur lapan belas tahun.
Jadi, apa yang mereka boleh buat? Tidak boleh masuk sekolah, lepas itu tidak boleh kerja dan mereka tiada pilihan selain daripada menjadi, untuk bekerja secara sunyi-sunyi, senyap-senyap di sana sini secara haram. Mereka ini dibuka untuk dieksploitasi.
Jadi, saya hendak tahu kita tidak boleh hantar mereka balik kan? Sudah generasi kedua dan ketiga dan mereka tidak dibenarkan untuk kerja. Macam mana mereka terus hidup di negara kita? Kalau tidak ada satu cara untuk hantar mereka balik, kita buatlah.
Akan tetapi, kalau tidak ada cara kita harus tolerate ini adalah masalah yang kita kerana berperikemanusiaan, kita terima mereka masuk dan kita haruslah adakan satu formula untuk mengatasi masalah kekurangan pekerja dan juga secara humanitarian dengan pelarian-pelarian ini khusus daripada negara-negara Islam ini.
Jadi, saya tahu masa saya sudah pun suntuk. Saya hanya sebutkan tajuk cukuplah. Saya tidak mahu buat ucapan lagi Tuan Yang di-Pertua. Saya hendak minta pihak Parlimen adakan satu Jawatankuasa Pilihan Parlimen bekerjasama dengan pihak
Puan Teresa Kok Suh Sim - Seputeh
KDN untuk mengkaji segala permohonan kewarganegaraan. Ada banyak kes yang saya pernah cakap dengan Yang Berhormat Menteri tentang low-hanging fruit, kita macam satu keluarga di mana ibu bapa sebelum mereka daftar yang lelaki Malaysia berkahwin dengan wanita asing dan adakan anak luar nikah. Selepas itu mereka daftar perkahwinan mereka jadi anak sulung itu tiada kewarganegaraan, stateless tetapi yang adik-adik selepas itu semua adalah warga Malaysia.
Semua ini sebenarnya kita boleh cari satu jalan untuk atasinya. Saya percaya ramai Ahli Yang Berhormat dekat sini kita ada berpuluh-puluh ataupun beratus-ratus kes tentang permohonan kewarganegaraan yang mana saya rasa kita perlu cepatkan untuk mengatasinya. Saya rasa kita perlu ubah sedikit dasar atau buat sedikit pindaan jadi the Select Committee untuk kes ini adalah amat diperlukan yang akhirnya juga banyak kes tentang isu penipuan cash trust yang mana ramai pelabur ini dikatakan dapat pulangan yang tinggi bila mereka labur dalam beberapa dana yang dipaparkan oleh syarikat besar tetapi sebenarnya semua ini tidak mendapat kelulusan daripada Bank Negara. Jadi, bila mereka rasa ditipu mereka tidak tahu perlu buat laporan polis ataupun SPRM atau pergi ke Bank Negara. Jadi, ada kekeliruan sebab agensi kata mereka ada hak tetapi ada hak tertentu. Jadi, saya ingin mintak kerajaan pinda undang-undang bagi Bank Negara untuk mengawasi kesemua tindak tanduk syarikat yang keluarkan investment fund ataupun cash trust seperti itu...
Tuan Yang di-Pertua
Yang Berhormat Seputeh itu bukan.
Puan Teresa Kok Suh Sim - Seputeh
...yang mana ramai telah pun tertipu.
Tuan Yang di-Pertua
Itu bukan baca tajuk tu, itu sudah. Tajuk ya tadi?
Puan Teresa Kok Suh Sim - Seputeh
[Ketawa] Akhirnya ialah tentang Timbalan Perdana Menteri. Kes ini saya rasa kurang orang sebut. Saya hendak tanya adakah itu dasar penanaman sawit yang diluluskan oleh Kabinet pada tahun 2019? Di mana empat dasar utama, adakah ia masih diteruskan di mana ini termasuk melarang perkembangan kawasan penanaman sawit, tidak benarkan sawit ditanam di tanah gambut. Kita hendak buka petak penanaman sawit untuk tunjuk yang ketelusan kita dan jadi...
Tuan Yang di-Pertua
Okey.
Puan Teresa Kok Suh Sim - Seputeh
...adakah semua ini masih diteruskan oleh kementerian? Sekian terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua
Okey terima kasih. Saya jemput Yang Berhormat Parit.
Tuan Haji Muhammad Ismi bin Mat Taib - Parit
*Bismillah, alhamdulillah.
[Membaca selawat]* Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Saya mengucapkan ribuan terima kasih kerana diberi peluang untuk berbahas mewakili Parlimen Parit, dalam Belanjawan 2023. Sesungguhnya peluang ini adalah acara tahunan utama yang sangat penting kepada para penggubal undang-undang untuk membahaskan berkenaan Belanjaan 2023 dari segenap aspek sebagai sebahagian proses semak imbang terhadap cabang eksekutif bagi memastikan perancangan dan peruntukkan oleh Kerajaan Persekutuan dibuat mengikut prosedurnya. Saya mohon izin berpantun.
Pasang kandil dalam ribut Budak-budak mencari lokan, Kalimah adil mudah disebut, Tetapi susah hendak dilaksanakan. Oleh itu, saya berdiri di sini mewakili rakyat parit berpegang pada makna keadilan dalam Islam iaitu meletakkan sesuatu kepada tempatnya, manakala lawan bagi adil ialah zalim. Maksud bagi zalim pula ialah meletakkan sesuatu pada bukan tempatnya. Saya ingin menegaskan di sini bahawa peruntukan dan projek pembangunan oleh Kerajaan Persekutuan seharusnya adil kepada semua kawasan parlimen bahkan jika peruntukan
Tuan Haji Muhammad Ismi bin Mat Taib - Parit
Ahli Parlimen disalurkan dengan pantas kepada Ahli Parlimen kerajaan seharusnya ia juga tidak harus ditangguh-tangguhkan kepada Ahli-ahli Parlimen pembangkang kerana pada asasnya kami juga dipilih oleh rakyat Malaysia.
Tuan Yang di-Pertua, isu pertama yang ingin saya sebutkan ialah berkaitan dengan hutang negara. Kita difahamkan bahawa sehingga akhir 2022 hutang Kerajaan Persekutuan adalah mencecah RM1.0796 trilion iaitu 60.4 peratus daripada KDNK.
Kementerian Kewangan mengunjurkan hutang Kerajaan Persekutuan akan mencecah 62 peratus daripada KDNK untuk memberi program dan projek pembangunan di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) serta penebusan bon 1MDB yang matang pada Mac 2023. Belanjawan tahun ini pula adalah belanjawan yang terbesar dalam sejarah iaitu RM386.14 bilion. Saya berpandangan bahawa nilai hutang ini terlalu tinggi dan perlu ditangani segera bagi memastikan usaha pembangunan dan kepada generasi anak-anak kita pada masa akan datang tidak akan terencat dan terganggu. Soalan saya, apakah usaha kerajaan dalam usaha mencapai sasaran defisit yang lebih rendah sebanyak 3.2 peratus daripada KDNK menjelang 2025?
Kedua, adakah kerajaan akan membentangkan Rang Undang-undang Tanggungjawab Fiskal (FRA) di Parlimen dalam masa terdekat bagi membolehkan negara memulakan inisiatif pembaharuan fiskal?
Soalan ketiga, sejauh manakan mekanisme tadbir urus yang lebih berkesan akan dilaksanakan bagi mengurangkan ketirisan dana awam pada belanjawan kali ini.
Tuan Haji Muhammad Ismi bin Mat Taib - Parit
Tuan Yang di-Pertua, saya ingin menyebut beberapa masalah kritikal di kawasan Parlimen saya agar ia direkod di Dewan yang mulia ini, diambil perhatian oleh kementerian-kementerian yang berkenaan.
Saya ingin menyebut berkenaan dengan jalan-jalan persekutuan di Parlimen Parit yang kebanyakannya adalah teruk dan tidak dibaiki sepenuhnya sehingga sekarang atas alasan kekurangan peruntukan. Saya khuatir kerana jalan-jalan ini merupakan nadi perhubungan rakyat di Parlimen Parit yang kebanyakannya golongan B40 dan terpaksa menggunakan jalan-jalan ini bagi mencari rezeki dan meneruskan kehidupan seharian mereka. Saya pohon Kementerian Kerja Raya memberi maklum balas berkaitan dengan isu ini.
Saya juga ingin membangkitkan isu penyediaan prasarana bagi perumahan tersusun di Parlimen Parit yang perlu diberikan perhatian serius. Saya berpendapat perancangan ini sangat perlu bagi memastikan pembangunan perumahan ini dibuat secara sistematik dan memudahkan pembangunan fizikal bagi fasa seterusnya dilaksanakan tanpa mengganggu ekologi alam sekitar.
Saya juga difahamkan bahawa peruntukan dan kelulusan bagi membina rumah untuk golongan miskin di Parlimen Parit amatlah sedikit. Ia menyebabkan ramai di kalangan keluarga miskin ini terpaksa menunggu lama dan dinafikan hak asasi mereka.
Saya memohon Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan memberi penjelasan terhadap dua isu yang saya bawa ini.
Tuan Yang di-Pertua, agropelancongan ialah satu konsep pelancongan yang berkembang pesat kerana Malaysia menawarkan berbagai aktiviti berkaitan dengan sektor pertanian dan perladangan kepada para pelancong. Antara aktiviti yang mendapat sambutan dalam agropelancongan ialah lawatan ke dusun buah-buahan dan ladang ternakan, mengunjungi industri kecil produk setempat, homestay dan sebagainya.
Sekadar menyebut Parlimen Parit mempunyai beberapa kawasan tarikan pelancongan untuk menarik pelancong antarabangsa mahupun pelancong domestik untuk datang menerokainya seperti Padang Koba Telok Bakong, Tebing Sungai Perak dari Pekan Parit hinggalah ke Ekor Lambat, Taman Cempaka Sari dan lainnya.
Oleh itu, saya ingin mendapatkan penjelasan daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya dan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, apakah kementerian berhasrat untuk menggiatkan usaha agropelancongan di Parlimen Parit bagi memastikan sektor pelancongan terus aktif?
Tuan Haji Muhammad Ismi bin Mat Taib - Parit
Tuan Yang di-Pertua, berkaitan dengan naik taraf liputan rangkaian telekomunikasi dan jalur lebar. Melihat kepada realiti kemajuan digital yang bergerak pantas, saya memohon pihak kerajaan memastikan liputan rangkaian telekomunikasi dan jalur lebar dapat diperluaskan serta ditingkatkan kualitinya termasuklah di kawasan luar bandar seperti di Parlimen Parit. Keperluan ini sudah menjadi keutamaan kerana urusan seharian rakyat sudah mula beralih kepada sistem digital. Namun, jika capaian rangkaian tidak memuaskan, pasti akan merencatkan urusan seharian rakyat. Maka, ia menyukarkan peniaga-peniaga atas talian dan pelajar-pelajar untuk mengikuti pengajian dalam talian kerana capaian internet yang tidak stabil.
[Timbalan Yang di-Pertua (Puan Alice Lau Kiong Yieng) **mempengerusikan Mesyuarat****] Merujuk kepada situasi ekonomi semasa dan keperluan jaminan bekalan makanan, saya menyarankan supaya Mukim Lambor dinaik taraf menjadi kawasan pertanian yang mengamalkan sistem pertanian bersepadu bagi menjamin bekalan makanan yang mencukupi pada masa akan datang.
Berkaitan dengan menaik taraf rumah pam pengairan di Parit, keperluan naik taraf sistem rumah pam pengairan di kawasan Parlimen Parit adalah kerana berlakunya isu kekurangan bekalan air apabila tiba musim bekalan air diperlukan oleh petani. Pertanian sawah padi merupakan antara sumber utama ekonomi masyarakat di Parlimen Parit.
Begitu juga penguatkuasaan terhadap kegagalan pelombong pasir di sungai-sungai mengikut syarat yang ditetapkan pihak berkaitan perlu diberi perhatian. Kejadian ini adalah salah satu punca utama terjadinya hakisan di tebing dan rebakan di sepanjang jajaran Sungai Perak. Rebakan dan hakisan ini sangat membahayakan penduduk setempat.
Tuan Yang di-Pertua, saya ingin menyebut tentang fenomena Islamofobia yang sedang berleluasa di serata dunia sekarang. Definisi bagi kosa kata fobia ialah ketakutan dan kebencian yang keterlaluan, ketakutan tidak rasional atau amat kuat dan benci terhadap sesuatu. Secara mudahnya, berdasarkan definisi ini, Islamofobia adalah ketakutan tidak rasional atau amat kuat dan benci terhadap Islam. Nama Islamofobia lebih daripada sekadar makna ini. Ia turut menggabungkan kebencian kaum serta tidak bertoleransi, prejudis dan diskriminasi.
Oleh itu, persoalan saya, sejauh manakah usaha yang telah dibuat oleh Kerajaan Persekutuan atas kapasiti negara kita selaku Ahli Pertubuhan Negara-negara Islam untuk mengatasi masalah Islamofobia yang menular di seluruh dunia? Bagaimanakah peranan agensi seperti JAKIM, YADIM, IKIM, media massa dapat berperanan mengatasi perkara ini?
Saya juga berminat untuk membahaskan berkenaan filem Mentega Terbang di mana filem itu didakwa menghina Islam dengan kandungan yang berbaur hasutan.
Kontroversi filem Mentega Terbang ini tular selepas dikecam mengandungi babak yang seakan-akan mempersendakan Islam dan menyentuh sensitiviti umat Islam. Filem berdurasi satu jam 45 minit ini menjadi bualan hangat kerana mengandungi babak seorang bapa yang berfikiran terbuka apabila tidak menghalang anaknya memilih agama di mana perbuatan ini bertentangan sama sekali dengan Islam, juga babak-babak lain yang tidak sesuai.
Saya berpandangan filem ini telah melampaui batas dan mempromosikan unsur- unsur liberalisme yang berpotensi mengajak rakyat bertindak luar daripada batasan agama yang suci. Soalan saya, bagaimanakah...
Tuan Chong Zhemin - Kampar
Minta laluan sikit, minta laluan, Kampar di sini.
Tuan Haji Muhammad Ismi bin Mat Taib - Parit
Sorry, saya tidak benarkan.
Tuan Chong Zhemin - Kampar
Mentega Terbang itu tahun 2021. Pada masa itu mana PAS?
Tuan Haji Muhammad Ismi bin Mat Taib - Parit
Saya tidak benarkan, saya tidak benarkan.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Yang Berhormat Kampar sudah.
Tuan Chong Zhemin - Kampar
Pada masa itu mana PAS? Ini bukan filem baharu.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Yang Berhormat Kampar sila duduk.
Tuan Haji Muhammad Ismi bin Mat Taib - Parit
Ya betul, saya tahu, tapi sekarang ditonjolkan balik.
Bagaimanakah filem ini boleh dihasilkan tanpa adanya saringan dan penapisan yang sewajarnya? Apakah jaminan daripada Kementerian Komunikasi dan Digital bahawa insiden filem liberal seperti ini tidak akan berulang lagi selepas ini? Berapakah peruntukan yang digunakan bagi menyaring dan menapis sebaran-sebaran negatif berunsur merosakkan akidah, lucah, mengancam keselamatan dan sebagainya?
Tuan Yang di-Pertua, saya ingin menanyakan beberapa persoalan tentang urusan pentadbiran agama Islam di negara ini. Saya mengucapkan terima kasih kerana memberikan kenaikan elaun guru KAFA RM100 dan sumbangan khas kepada imam- imam.
Namun, soalan saya, apakah kerajaan mempunyai inisiatif jangka panjang untuk memastikan guru kelas agama, imam, bilal, tok siak, noja, marbut dan sebagainya diberikan elaun yang sepadan untuk jangka masa yang panjang, bukan hanya one-off semata-mata? Apakah status RUU 355 yang masih tertangguh sehingga waktu ini? Saya berpendapat usaha bagi menaik taraf bidang kuasa mahkamah syariah perlu dipercepatkan. Pada waktu ini bidang kuasa mahkamah syariah sangat rendah berbanding mahkamah majistret.
Tuan Yang di-Pertua, saya juga ingin...
Tuan Mohd Sany bin Hamzan - Hulu Langat
RUU 355, Yang Berhormat Bagan Serai boleh jawab.
Tuan Haji Muhammad Ismi bin Mat Taib - Parit
Tuan Yang di-Pertua, saya juga ingin menanyakan berkenaan Manifesto Pakatan Harapan. Baru-baru ini menyebutkan tentang penubuhan Pejabat Belanjawan Parlimen atau, dengan izin, Parliamentary Budget Office (PBO) jika mereka memenangi PRU ke-15. Penubuhan pejabat ini bagi memastikan semua Ahli Parlimen mempunyai akses terhadap maklumat terutama kos yang sedang berjalan bagi setiap projek pembangunan yang telah diluluskan yang melibatkan dana awam.
Akses terhadap maklumat ini sangat signifikan bagi memastikan proses semak dan imbang Ahli Parlimen berjalan tanpa sebarang sekatan maklumat. Bahkan perjawatan dalam pejabat ini terdiri daripada penjawat awam dan tidak berpihak kepada mana-mana pihak. Namun, sehingga sekarang, saya dapati tidak ada perkembangan berkenaan pelaksanaan manifesto ini. Saya mohon penjelasan daripada Kerajaan Persekutuan tentang isu ini.
Itu sahaja, Tuan Yang di-Pertua.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Masa sudah tamat.
Tuan Haji Muhammad Ismi bin Mat Taib - Parit
Saya ucapkan terima kasih.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Sekarang saya jemput Yang Berhormat Batang Lupar.
Tuan Mohamad Shafizan Haji Kepli - Batang Lupar
Bismillahi Rahmani Rahim. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM388.14 bilion, Belanjawan 2023 ini adalah bajet yang terbesar dalam sejarah negara setakat ini. Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM5.6 bilion akan diperuntukkan kepada Sarawak untuk pelaksanaan pelbagai projek pembangunan.
Terdahulu dalam ucapan sulung saya semasa membahaskan Titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, saya telah menekankan keperluan untuk menyelesaikan isu-isu kemiskinan di luar bandar. Saya amat berbesar hati kerana Yang Amat Berhormat Perdana Menteri juga mempunyai harapan yang sama untuk menoktahkan kemiskinan tegar melalui pelbagai peruntukan dan inisiatif di bawah belanjawan kali ini.
Tuan Yang di-Pertua, untuk perbahasan Belanjawan 2023 dengan masa yang begitu singkat ini, saya akan memfokuskan kepada empat topik.
Pertamanya ialah kelangsungan keselamatan di kawasan luar bandar. Tuan Yang di-Pertua, Batang Lupar terdiri daripada tiga DUN dan ketiga-tiga DUN ini juga merupakan daerah penuh dan belum diwujudkan balai bomba dan penyelamat.
Mengambil contoh Daerah Pusa, balai bomba dan penyelamat (BBP) yang terdekat ialah di Betong iaitu kira-kira 50 hingga 60 kilometer atau satu jam perjalanan dan juga BBP Saratok yang terletak 40 kilometer jauhnya atau sekitar 40 minit perjalanan.
Tuan Mohamad Shafizan Haji Kepli - Batang Lupar
Buat masa ini, perkhidmatan feri masih digunakan untuk menyeberangi Sungai Batang Saribas. Feri Pusa ke Beladin sebagai contoh, mengambil masa hampir 30 minit untuk menyeberangi Sungai Batang Saribas. Berikutan keadaan ini, apabila berlakunya kecemasan dan kebakaran yang memerlukan khidmat Jabatan Bomba dan Penyelamat, amat sukar bagi mereka untuk sampai ke tempat kejadian. Tambahan pula waktu perkhidmatan feri hanya terhad setakat jam 10 malam. Khidmat feri juga bergantung kepada keadaan cuaca di mana khidmat feri terpaksa dihentikan apabila ombak laut kuat.
Pada 31 Mei 2013, masjid Kampung Tengah Beladin telah musnah seluruhnya dalam kebakaran. Pada malam 26 Julai 2020, berlaku kejadian kebakaran di Kampung Hulu Beladin juga yang melibatkan tiga buah rumah dan 22 orang telah sehelai sepinggang. Pada 6 Ogos 2022 tahun lalu, telah berlaku kebakaran yang memusnahkan deretan kedai lama di Pekan Sebuyau. Pada 18 Januari 2023, telah berlaku kebakaran di Kampung Agropolitan Seduku, Lingga.
Untuk pengetahuan Dewan, dua hari yang lepas iaitu pada 4 Mac 2023, jam 4.00 petang, sebuah rumah yang dihuni seramai sembilan orang telah musnah dijilat api di Kampung Tambak sebelum sempat pihak bomba tiba di tempat kejadian. Alhamdulillah, tiada kemalangan jiwa yang direkodkan. Kejadian ini terjadi di siang hari. Itu pun pihak bomba tidak sempat untuk sampai ke tempat kejadian bagi memadamkan api. Apa yang ingin saya sampaikan adalah jelas bahawa terdapat keperluan mendesak untuk membina sebuah balai bomba dan penyelamat di kawasan ini.
Tuan Yang di-Pertua, saya juga ingin menyentuh mengenai keperluan untuk membina balai polis di daerah-daerah yang terlibat dalam Parlimen Batang Lupar. Buat masa ini, balai polis sedia ada terpaksa menumpang sebumbung di Pejabat Daerah Pusa dan perkara ini telah berlanjutan sejak bertahun lamanya. Balai polis di Daerah Sebuyau juga amat daif dan kurang anggotanya. Keadaan yang sama juga berlaku di Daerah Lingga. Saya mohon kepada Kementerian Dalam Negeri supaya dapat mempertimbangkan sebuah IPD di kawasan ini. Dengan peruntukan sebanyak RM46 juta untuk balai-balai dan pondok polis, di bawah Belanjawan 2023, saya berharap sebahagian daripadanya akan dapat diperuntukkan untuk merealisasikan pembinaan balai polis baharu ini.
Keduanya ialah mewujudkan keadaan kondusif untuk pengajaran dan pembelajaran. Saya juga menyambut baik komitmen yang ditunjukkan oleh kerajaan
Tuan Mohamad Shafizan Haji Kepli - Batang Lupar
dalam usaha untuk menyelesaikan isu sekolah daif melalui peruntukan sebanyak RM920.4 juta di bawah belanjawan kali ini. Pada perbahasan Titah Diraja yang lepas, saya telah membangkitkan berkenaan pembinaan penggantian penuh SMK Sebuyau.
Alhamdulillah, jawapan yang diberikan amat positif. Saya juga ingin bertanya kepada pihak kementerian berkenaan apakah perkembangan terkini peruntukan RM1 bilion untuk membina sekolah-sekolah daif khasnya di kawasan Batang Lupar seperti SK Tungkah Melayu dan SK Tuanku Bagus di Sebuyau? Apakah status pembinaan sebuah dewan terbuka di SMK Pusa? Mohon maklum balas daripada kementerian.
Seterusnya ialah melengkapkan fasiliti kesihatan. Tuan Yang di-Pertua, dengan peruntukan sebanyak RM340 juta di bawah belanjawan kali ini, saya berharap agar lebih banyak klinik-klinik daif di Sarawak khususnya di Batang Lupar akan turut mendapat manfaat daripada peruntukan ini. Umum mengetahui bahawa pesakit buah pinggang memerlukan rawatan hemodialisis tiga kali seminggu dan tempoh masa untuk setiap rawatan mengambil masa sehingga empat jam. Ketiadaan mesin hemodialisis di klinik- klinik kesihatan di Batang Lupar menyebabkan pesakit terpaksa pergi ke klinik-klinik yang terletak jauh di pekan dan bandar. Maka saya berharap agar pihak kerajaan dapat menyalurkan sedikit peruntukan untuk melengkapkan klinik-klinik kesihatan di Batang Lupar ini.
Seterusnya ialah pemerkasaan fasiliti pendidikan awal kanak-kanak. Dalam kesempatan ini, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri kerana telah menaikkan elaun Pembantu Pendidikan Masyarakat Sukarela (PPMS) di bawah Jabatan Kemajuan Masyarakat KEMAS daripada RM500 sebulan ke RM800 sebulan yang akan memanfaatkan 9,439 PPMS di seluruh negara.
Saya juga ingin memohon supaya tabika dan taska yang bukan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia juga dapat dinaiktarafkan dan diberi perhatian sewajarnya. Saya melihat bahawa di bawah Belanjawan 2023, sejumlah RM9.5 juta diperuntukkan untuk penyelenggaraan dan pembaikan bangunan KEMAS, manakala RM1 juta dikhususkan untuk peralatan dan kelengkapan Tabika dan Taska KEMAS.
Apa yang saya ingin bawa untuk perhatian Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah khasnya adalah isu di mana terdapat banyak Tabika dan Taska KEMAS di Sarawak yang masih menumpang di bangunan dan fasiliti awam seperti balai raya, dewan orang ramai, surau, masjid dan malah ada yang menumpang di stor rumah panjang. Oleh yang demikian, saya mohon agar pihak kementerian dapat melihat kepada isu ini dan mencari penyelesaian yang sewajarnya.
Akhir sekali Tuan Yang di-Pertua, sebelum mengakhiri perbahasan saya, saya seia dan sekata, senada dan seirama dengan rakan-rakan seperjuangan daripada GPS.
Saya juga ingin menyampaikan rasa kesal saya terhadap ucapan oleh Yang Berhormat Stampin.
[Tepuk] Tuan Yang di-Pertua, pendirian GPS adalah jelas. Kami akur dengan Titah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk membentuk sebuah Kerajaan Perpaduan. Kami meletakkan sepenuh kepercayaan atas budi bicara dan kebijaksanaan Baginda Tuanku yang telah memilih Yang Amat Berhormat Tambun sebagai Perdana Menteri Malaysia. Ini demi mengakhiri kemelut politik pada ketika itu yang berlaku di mana tidak ada seorang pemimpin pun yang mendapat majoriti untuk membentuk kerajaan...
Datuk Willie anak Mongin - Puncak Borneo
Yang Berhormat Batang Lupar.
Tuan Mohamad Shafizan Haji Kepli - Batang Lupar
...Selepas PRU-15.
Datuk Willie anak Mongin - Puncak Borneo
Puncak Borneo minta sedikit laluan.
Tuan Mohamad Shafizan Haji Kepli - Batang Lupar
10 seconds.
Datuk Willie anak Mongin - Puncak Borneo
10 seconds, boleh. Terima kasih Yang Berhormat Batang Lupar. Saya nak bertanya Yang Berhormat Batang Lupar bahawa adakah patut Yang Berhormat Stampin untuk bekerjasama dengan kita sebab sebelum ini Yang Berhormat Stampin, beliau adalah seorang yang begitu megah dan bersuara
Datuk Willie anak Mongin - Puncak Borneo
dengan lantang untuk memperjuangkan hak Sarawak dan juga memperjuangkan 20 percent royalti minyak bagi negeri Sarawak.
Akan tetapi pada hari ini, Yang Berhormat Stampin mengatakan kita tidak memperjuangkan hak Sarawak. Sepatutnya beliau bersama-sama dengan kita, berganding bahu untuk sama-sama menggembleng tenaga untuk kita meminta segala hak Sarawak bagi orang Sarawak untuk kemajuan Sarawak. Setujukah Yang Berhormat Batang Lupar mengenai perkara ini?
Tuan Mohamad Shafizan Haji Kepli - Batang Lupar
Terima kasih Yang Berhormat Puncak Borneo. Saya ada pesanan kepada Yang Berhormat Stampin selepas ini. Saya rasa pesanan itu sama macam Yang Berhormat Puncak Borneo katakan tadi.
Dengar ya Yang Berhormat Puncak Borneo. Justeru, saya titipkan pesanan buat Yang Berhormat Stampin. Kita ini ibaratnya berada di dalam sebuah perahu bidar yang sama di mana ia dikemudi oleh Yang Amat Berhormat Tambun. Gabungan Parti Sarawak
(GPS) seramai 23 orang pada masa dan ketika ini sedang mengayuh bersama-sama rakan-rakan yang lain untuk memastikan perahu ini sampai ke penamat dengan jayanya.
Janganlah cuba untuk dilenggok-lenggokkan perahu ini. Nanti boleh membawa kepada karam dan kita semuanya akan tersadai di pinggiran pantai. Kalau Yang Berhormat Stampin benar-benar ikhlas dalam mengutamakan Sarawak, maka tidak perlulah mempolitikkan belanjawan ini.
Satu paragraph lagi Tuan Yang di-Pertua. Kepada Ahli-ahli Parlimen GPS, Batang Lupar ingin berpesan, go ahead jak pokk, agi idup agi ngelaban...
[Tepuk] demi untuk Sarawak yang tercinta. Sekian, Batang Lupar mohon duduk dan menyokong sepenuhnya Belanjawan 2023. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Saya jemput Yang Berhormat Keningau.
Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey G. Kitingan - Keningau
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua kerana memberikan saya peluang menyertai perbahasan Belanjawan 2023 ini. Pertama sekali saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Tambun kerana membentangkan bajet yang baik iaitu kalau ikut sejarah, yang terbesar dalam sejarah RM388.1 bilion.
Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey G. Kitingan - Keningau
Bajet pembangunan juga yang terbesar RM99 bilion dan tumpuan untuk kebajikan terutama sekali kumpulan B40 telah tidak terabai. Walau bagaimanapun, daripada segi pandangan Sabah dan Sarawak, ada kekecewaan sedikit disebabkan agihan peruntukan pembangunan itu masih lagi mengikut acuan yang lama. Masih lagi tidak adil pada Sabah dan Sarawak kerana daripada RM99 bilion bajet untuk pembangunan ini, 87 peratus masih lagi untuk Semenanjung dan hanya 6.5 peratus kepada Sabah, 5.6 peratus untuk Sarawak.
Jadi, ini amat mengecewakan daripada segi bajet pembangunan kerana yang memerlukan pembangunan ini adalah Sabah dan Sarawak. Ini kerana apa? Ini kerana Sabah dan Sarawak masih mundur, masih ketinggalan, masih mempunyai potensi yang banyak untuk dimajukan dan dibangunkan. Selain itu Sabah dan Sarawak juga masih lagi menunggu-nunggu pelaksanaan hak-hak kewangan terutama sekali dalam Artikel 112C, Artikel 112D, dalam Jadual 10 dan sebagainya untuk menampung keperluan pembangunan Negeri Sabah dan Sarawak.
Jadi, Tuan Yang di-Pertua sepatutnya agihan bajet pembangunan ini boleh di ubah sedikit mengikut acuan yang baharu. Mengikut asas yang baharu iaitu yang lebih adil. Biarlah agihan itu separuh-separuh. Separuh iaitu 50 peratus kepada Semenanjung dan 25 peratus kepada Sabah, 25 peratus kepada Sarawak. Dengan itu bolehlah kita mengejar pembangunan yang ada di Malaya yang sudah 20 atau 30 tahun ke hadapan.
Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey G. Kitingan - Keningau
Tidak ada pula disebutkan tentang Labuan dan tidak hairanlah ada isu-isu Labuan ini disebutkan supaya dikembalikan kepada Negeri Sabah lagi.
Tuan Yang di-Pertua, daripada hasil Bajet 2023 ini yang berat sebelah sudah tentunya Sabah akan lebih terpinggir kerana Sabah sekarang adalah negeri yang termiskin dalam Malaysia. Malu juga saya mahu sebut. Lapan daripada 10 buah daerah yang termiskin adalah di Sabah dan GDP per kapita Sabah adalah hanya separuh daripada GDP per kapita purata iaitu national average. Jadi, ini membimbangkan kita dan seharusnya tumpuan untuk pembangunan ini patutnya di Pulau Borneo. Untuk Sabah membangun dan mengejar pembangunan supaya GDP per kapita di Sabah ini setanding atau setaraf dengan national average, Sabah masih memerlukan peruntukan pembangunan atau income sebanyak RM69 bilion.
Tuan Yang di-Pertua, hakikatnya setiap tahun Sabah tidak menerima penuh dana peruntukan yang diagihkan ataupun yang dinyatakan disebabkan oleh sistem birokrasi yang menyekat iaitu sistem birokrasi tersebut mengakibatkan hanya sebahagian sahaja dana yang diperuntukkan dapat dibelanjakan dan bakinya dibawa ke tahun hadapan secara rollover. Maka setiap tahun RM4 bilion atau RM5 bilion yang diperuntukkan untuk pembangunan Sabah. Akan tetapi akibat rollover ini RM4 bilion atau RM5 bilion peruntukan tersebut hanya dibelanjakan dalam empat atau lima tahun. Kurang lebih RM1 bilion satu tahun. Sekiranya setiap tahun RM4 bilion atau RM5 bilion peruntukan pembangunan ini dibelanjakan setiap tahun, maka jumlah nikmat pembangunan di Sabah boleh mencecah RM20 bilion atau RM25 bilion.
Adalah dikhabarkan juga bahawa daripada RM6.5 bilion yang diperuntukkan dalam Bajet 2023, sebanyak lebih kurang RM5 bilion adalah jumlah yang dibawa ke hadapan daripada peruntukan tahun 2022 yang tidak dapat dibelanjakan kerana sistem dan sekatan birokrasi. Jika ini benar maka Sabah hanya diperuntukkan dan baharu RM1.5 bilion untuk tahun 2023 dan bukan RM6.5 bilion. Betul atau tidak, saya mohon penjelasan sama ada benar atau tidak apa yang saya cakap sebentar tadi. Oleh sebab itu Kerajaan Sabah mencadangkan agar peruntukan pembangunan bagi tahun 2023 dan seterusnya dimasukkan terus ke akaun amanah pembangunan Sabah. Kalau dipersetujui Sarawak juga untuk dibelanjakan mengikut acuan Kerajaan Sabah dan Sarawak yang akan dikawal selia oleh jawatankuasa bersama daripada Kementerian Kewangan Persekutuan Sabah dan Sarawak.
Tuan Yang di-Pertua, peruntukan pembangunan yang tidak adil, yang sepatutnya yang lebih adil adalah 50, 25 dan 25. Iaitu 50 di Semenanjung dan 50 di Borneo. Oleh sebab Persekutuan Malaysia terdiri daripada tiga entiti iaitu rakan kongsi sama taraf dan Borneo ini masih mundur. Jalan raya di Malaya sudah berlapis-lapis, berlorong-lorong, bertingkat-tingkat tetapi di Sabah dan Sarawak masih banyak tempat yang tidak ada jalan pun. Yang ada jalan pun masih berhabuk, berlumpur, berlubang-lubang dan ada yang berombak-ombak seperti di bulan.
Sabah dan Sarawak memerlukan pembangunan yang dijanjikan seperti mana yang dijanjikan kepada bapa-bapa kemerdekaan kita dan potensi pembangunan di Sabah dan Sarawak ini masih banyak untuk kita belanjakan dan untuk membangunkan pertanian, pelancongan, perindustrian, sumber asli, nature capital dan sebagainya.
Tuan Yang di-Pertua, Sabah, Sarawak harus dilayan sebagai rakan kongsi.
Janganlah ikut acuan yang lama. Hak Sabah dan Sarawak di dalam MA63 harus ditunaikan. Sebagai contoh hasil bersih 40 peratus dalam Artikel 112C, Artikel 112D masih lagi belum dilaksanakan. Hanya baru-baru ini, kerajaan pusat Yang Amat Berhormat Perdana Menteri menjalankan pembayaran RM260 juta kepada Sabah dan RM300 juta kepada Sarawak. Kenapa bukan 40 peratus seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan?
Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey G. Kitingan - Keningau
Jangan gunakan alasan Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Pusat tidak ada duit kerana duit itu adalah duit daripada Sabah dan bukan daripada negeri-negeri yang lain ataupun daripada Persekutuan. Persekutuan layak menerima 60 peratus dan selebihnya dikembalikan, dipulangkan kepada Sabah. Jadi, saya mintalah supaya ini dibuat kerana
Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey G. Kitingan - Keningau
ramai yang bertanya sama ada MA63 itu masih sah atau tidak kerana perjanjian ini belum lagi dilaksanakan.
Kalau mengikut kebiasaannya, kalau perjanjian itu tidak dilaksanakan dalam 10 tahun, ia akan bubar sendiri. Ini sudah separuh abad. Walau macam mana pun, saya mencadangkan supaya Kerajaan Perpaduan yang ada sekarang ini mengambil kira di dalam dasar-dasar dan juga di dalam agihan pembangunan supaya mengambil kira, satu saiz Sabah di mana Sabah dan Sarawak adalah...
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Sila gulung.
Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey G. Kitingan - Keningau
...Lebih besar daripada Semenanjung dan...
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Yang Berhormat Keningau, sila gulung.
Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey G. Kitingan - Keningau
...Daerah-daerah di Sabah lebih besar daripada negeri-negeri di- Sebagai ketua parti, 20 minit kan?
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Ketua.
Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey G. Kitingan - Keningau
Saiz daerah-daerah di Sabah ini lebih besar daripada saiz negeri-negeri di Semenanjung. Kita di Sabah mempunyai 27 buah daerah tidak termasuk daerah-daerah kecil. Sebagai contoh daerah Keningau, kawasan saya adalah kawasan yang besar yang seharusnya dilayan seperti tiga negeri di Semenanjung kerana tiga negeri di Semenanjung iaitu Pulau Pinang, Melaka dan Perlis boleh masuk di daerah Keningau atau di kawasan saya. Akan tetapi, layanannya adalah masih lagi seperti pandangan yang lama.
Jadi, saya minta supaya semua asas ini diambil kira supaya di masa yang akan datang, di bajet yang akan datang kita tidak lagi akan mengulang kekecewaan Sabah dan Sarawak sejauh mana layanan oleh Kuala Lumpur terhadap Sabah dan Sarawak seperti yang dulu. Begitu juga kerana Sabah dan Sarawak mempunyai potensi yang begitu banyak apatah lagi dengan pemindahan capital ibu pejabat, ibu negara Indonesia kepada Kalimantan. Dia akan meng-activate-kan potensi-potensi ekonomi di rantau ini termasuklah Sabah dan Sarawak. Maka, saya minta supaya development focus ini beralih.
You shift the development focus dari Semenanjung kepada Sabah dan Sarawak. Apabila mana Sabah dan Sarawak ini dimajukan dan dibangunkan, dia akan menyumbang kepada pembesaran ekonomi negara, ekonomi Malaysia.
Jadi, Tuan Yang di-Pertua, sebelum saya mengakhiri ucapan saya, saya minta juga supaya Kerajaan Pusat, Kuala Lumpur memberi lebih banyak autonomi kepada Sabah supaya Sabah dan Sarawak boleh memajukan ekonomi mereka mengikut acuan mereka masing-masing. Minta juga supaya Kerajaan Pusat mengambil kira kemunduran Sabah dan Sarawak, kemiskinan terutama sekali di Sabah dan mengiktiraf Jabatan Teknikal seperti JKR dan JPS ini sebagai Jabatan Teknikal yang diiktiraf oleh Perbendaharaan.
Saya juga meminta diambil kira supaya dibina laluan kereta api menghubung pelabuhan utama Sepanggar, Kota Kinabalu dengan pendalaman, dengan pembinaan pelabuhan darat di Keningau Inland Port dan penyambungan laluan kereta api dari Beaufort, Sabah ke negara Brunei dengan perkembangan satu hari nanti ke Nusantara, Kalimantan.
Tuan Yang di-Pertua, sekali lagi saya ucapkan syabas dan tahniah kepada kerajaan yang baharu. Oleh kerana kita mempunyai kerajaan baharu, kita mempunyai Perdana Menteri yang baharu. Saya harap sikap yang baharu, dasar yang baharu, layanan yang baharu juga akan dapat digunakan sebagai asas untuk melayani Sabah dan Sarawak.
Oleh sebab selama ini bertukar-tukar Perdana Menteri, bertukar-tukar kerajaan tetapi layanan terhadap Sabah dan Sarawak masih sama. We need the change, so, be the first to change. Saya mempunyai harapan Kerajaan Perpaduan ini akan mengambil kira pandangan-pandangan daripada kami terutama sekali pandangan yang saya telah
Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey G. Kitingan - Keningau
luahkan sebentar tadi supaya kerajaan ini akan dipandang oleh rakyat sebagai kerajaan yang mempunyai perbezaan daripada kerajaan-kerajaan yang lalu. Maka, dengan itu saya mohon menyokong.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Sekarang saya jemput Yang Berhormat Saratok.
Datuk Ali anak Biju - Saratok
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Salam sejahtera dan terima kasih saya ucapkan kepada Tuan Yang di-Pertua di atas ruang yang diberikan kepada Saratok untuk turut sama mengambil bahagian dalam perbahasan Belanjawan 2023 di peringkat dasar pada hari ini. Isu yang pertama, subsidi elektrik untuk pengguna di Sarawak.
Tuan Yang di-Pertua, pada mulanya saya amat gembira apabila mendengar bahawa kerajaan telah memperuntukkan jumlah yang amat besar iaitu RM10.8 bilion untuk menampung subsidi tarif elektrik kepada pengguna elektrik di Malaysia. Akan tetapi malangnya saya berasa amat kecewa apabila mendapat jawapan daripada Menteri NRECC semasa Perbahasan Titah Diraja bahawa kesemua jumlah RM10.8 bilion tersebut hanya diberikan kepada pengguna elektrik di Semenanjung dan Sabah yang mana pengguna di Sarawak telah diabaikan bantuan subsidi elektrik tersebut.
Perkara ini amatlah tidak adil bagi pengguna elektrik di Sarawak kerana dana subsidi tersebut adalah dana dari Kerajaan Persekutuan bukannya dana Kumpulan Wang Industri Elektrik (KWIE). Semua rakyat sepatutnya berhak mendapat bantuan subsidi elektrik ini sama seperti subsidi bahan api, petrol, diesel, ayam, telur, minyak masak, gas dan lain-lain. Adalah amat tidak masuk akal sama sekali akan alasan-alasan yang diberikan kononnya kuasa bekalan elektrik di Sarawak adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Sarawak sendiri. Tidak logik sama sekali. Ini menunjukkan kurang keprihatinan Kerajaan Madani ini.
Kita semua rakyat Malaysia harus menerima bantuan yang adil. Di Semenanjung Malaysia, golongan T20 pun menerima bantuan subsidi elektrik. Akan tetapi, golongan B40 di Sarawak tidak menerimanya. Adakah golongan T20 di Semenanjung lebih layak menerima subsidi elektrik daripada golongan B40 di Sarawak?
Datuk Ali anak Biju - Saratok
Adakah ini satu keadilan untuk rakyat Sarawak? Saya harap kesemua Ahli Dewan Rakyat dari Sarawak yang berjumlah 31 orang ini bekerjasama untuk memohon keadilan supaya bantuan subsidi elektrik daripada Kerajaan Persekutuan ini diberikan untuk Sarawak juga.
Isu sekolah daif di Saratok, Sarawak. Tuan Yang di-Pertua, umum mengetahui kebanyakan sekolah rendah di Sarawak terutama di kawasan pedalaman dalam keadaan daif. Pada masa sekarang terdapat 588 buah sekolah daif di Sarawak. Manakala di kawasan Saratok terdapat 43 buah sekolah daif daripada keseluruhan 58 buah sekolah.
Maknanya, lebih 80 peratus sekolah di Saratok ialah sekolah daif. Ini merupakan satu angka yang menyedihkan. Walaupun setelah 60 tahun pembentukan Malaysia dengan hasil pengeluaran dari Sarawak yang amat besar menyumbang kepada Kerajaan Persekutuan, ironinya 80 peratus sekolah di Saratok dalam keadaan daif.
Di bawah Usul Anggaran Perbelanjaan Pembangunan Sementara Tahun 2023 yang dibentangkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri pada Disember 2022 yang lalu, RM189 juta telah diperuntukkan untuk menaik taraf, membina semula sekolah daif di Sarawak dan daripada jumlah itu, RM6.1 juta dikhaskan untuk Saratok. Ini ialah perbelanjaan sementara sahaja. Oleh yang demikian, besarlah harapan warga Saratok untuk mendapatkan peruntukan yang jauh lebih dalam belanjawan yang dibentangkan oleh Yang Amat Berhormat Tambun pada persidangan kali ini.
Walau bagaimanapun, saya berasa amat janggal kerana semasa kita hendak menyelesaikan masalah sekolah daif di Malaysia dan Sarawak khasnya, tetapi
Datuk Ali anak Biju - Saratok
Belanjawan 2023 tidak mencerminkan kesungguhan usaha tersebut. Ini berdasarkan pengurangan peruntukan untuk sekolah daif kalau dibandingkan dengan peruntukan yang dibentangkan oleh kerajaan terdahulu pada bulan Oktober 2022.
Sebagai contoh, dalam Belanjawan 2023 yang telah dibentangkan oleh Yang Amat Berhormat Tambun pada minggu lepas, sebanyak RM920 juta telah diperuntukkan untuk membina semula atau membaik pulih 380 buah sekolah di seluruh negara dan juga RM900 juta untuk penyelenggaraan di seluruh negara. Jumlah ini berkurangan jika dibandingkan dengan belanjawan yang dibentangkan oleh kerajaan terdahulu di mana sebanyak RM1.2 bilion telah diperuntukkan untuk 123 buah projek di Sabah dan 182 buah projek di Sarawak sahaja. RM1.1 bilion untuk penyelenggaraan sekolah di seluruh negara.
Sedangkan dalam Belanjawan 2023 yang dibentangkan oleh Yang Amat Berhormat Tambun, hanya RM920 juta diperuntukkan untuk membaik pulih dan bina baharu; berkurangan RM280 juta. Manakala, peruntukan untuk penyelenggaraan berkurangan daripada RM1.1 bilion kepada RM900 juta, kurang RM200 juta. Dengan kadar belanjawan berkurangan begini, bilakah kerajaan dapat menoktahkan sekolah daif di seluruh negara dan di Saratok khasnya? Kita kena ingat, 43 daripada kesemua 58 buah sekolah di Saratok adalah daif, bersamaan dengan 80 peratus.
Oleh yang demikian, saya memohon perincian keseluruhan belanjawan untuk membaik pulih, bina baharu dan penyelenggaraan sekolah di Sarawak dan Saratok khasnya bagi tahun 2023. Cadangan pembinaan balai bomba di daerah Kabong. Tuan Yang di-Pertua, saya juga ingin mengetengahkan satu masalah yang sering mendapat pertanyaan daripada warga Kabong iaitu cadangan pembinaan balai bomba kelas D atau E.
Keperluan sebuah balai bomba di Kabong semakin mendesak apabila banyak malapetaka kebakaran telah berlaku sejak kebelakangan ini. Sebanyak 10 kes kebakaran berlaku di daerah Kabong sejak tahun 2015 menyebabkan kerugian jutaan ringgit sehinggakan pasar utama Kabong pun hangus pada bulan Jun 2022, tahun lepas. Lokasi balai bomba yang berdekatan ialah di Saratok, iaitu 50 kilometer dari Pekan Kabong iaitu sejam dari tempat tersebut.
Pada umumnya, warga Kabong berpendapat sekiranya ada balai bomba yang berdekatan di Kabong, banyak rumah dan harta benda dapat diselamatkan jika ada kebakaran. Ada banyak kampung dan rumah panjang di daerah Kabong yang memerlukan perhatian. Sebagai langkah awal, pada tahun lepas saya telah memperuntukkan sebanyak RM40,000 untuk membeli satu unit portable fire pump untuk kegunaan bomba sukarela yang telah ditubuhkan oleh warga Kabong di mana sebanyak 15 JKKK telah memberi kerjasama yang amat menggalakkan.
Bomba sukarela ini masih baharu lagi, oleh yang demikian memerlukan latihan.
Pada masa ini, latihan dibuat oleh pegawai dari Balai Bomba Saratok. Ini menunjukkan kebertanggungjawaban penduduk-penduduk Kabong terhadap keselamatan dan sentiasa bersedia untuk bertindak.
Pada tahun 2021, saya telah menyampaikan permohonan rasmi kepada Yang Berhormat Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada masa itu supaya dipertimbangkan untuk sebuah balai bomba kelas C dibina di Kabong dan mendapat maklum balas yang positif pada masa itu. Namun, sehingga sekarang belum ada keputusan muktamad. Oleh itu, saya ingin sekali lagi mengulangi permohonan sebuah balai bomba kelas C atau D dibina di Kabong.
Pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo dan keperluan flyover di Saratok. Tuan Yang di-Pertua, saya terpanggil untuk minta penjelasan daripada KKR akan status sebenar pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo di Sarawak kerana nampaknya tarikh siap pembinaannya selalu berubah. Baru-baru ini, KKR telah membuat pengumuman bahawa tarikh siap adalah pada tahun 2024. Adakah pihak kementerian sedar akan sebab-sebab mengapa kelewatan ini terjadi?
Saya ingin bertanya adakah mana-mana kontraktor yang terlewat akan dikenakan Liquidated Ascertained Damages (LAD). Saya juga minta perincian tarikh siap kepada semua pakej kontrak tersebut di seluruh Sarawak.
Datuk Ali anak Biju - Saratok
Di kawasan Saratok, masalah utama yang dihadapi oleh pemandu semasa menggunakan Pan Borneo adalah ketiadaan flyover yang digunakan untuk keluar masuk ke Saratok di Simpang Saratok. Jumlah kenderaan yang keluar masuk Pekan Saratok bertambah banyak. Pada masa sekarang, kadang-kadang kenderaan terpaksa berdepan dengan traffic jam yang teruk sekiranya keluar dari Saratok menuju ke arah Betong.
Selain daripada itu, penduduk di sekitar Berayang-Mudong menghadapi situasi yang rumit kerana kekurangan P-turn di kawasan tersebut. Penduduk rumah panjang yang hendak pergi ke seberang jalan terpaksa menggunakan P-turn yang terdekat yang jauhnya ulang-alik sudah sampai 14 kilometer satu trip. Kalau hantar anak ke SK Berayang atau ke kebun di seberang jalan, mereka terpaksa memandu sejauh 14 kilometer setiap trip. Sekiranya dua trip, maknanya ibu bapa terpaksa melalui jalan raya sejauh 28 kilometer setiap hari. Bayangkan kos petrol atau diesel ulang-alik 28 kilometer setiap hari atau bersamaan dengan 672 kilometer sebulan. Banyak sangat rungutan daripada masyarakat setempat berhubung dengan ketiadaan P-turn di kawasan Mudong- Berayang ini. Sekejap ya.
Oleh yang demikian, saya meminta supaya KKR membina beberapa P-turn di kawasan itu. Ini adalah untuk kemudahan penduduk setempat. Dengan ini, saya menyeru kerajaan mengambil perhatian yang serius terhadap semua isu yang saya bangkitkan dan mengambil tindakan yang sewajarnya. Sekian, terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Terima kasih. Saya jemput Yang Berhormat Ipoh Barat.
Tuan M. Kulasegaran a/l Murugeson - Ipoh Barat
Terima kasih, Tuan Yang di- Pertua. Ada tiga perkara yang saya ingin bangkitkan. Satu adalah mengenai penswastaan penjawat awam iaitu pada tahun 1997 terhadap pekerja-pekerja pembersih dan pengawal keselamatan. Kedua, adalah mengenai isu e-Kasih dan ketiga adalah – saya baru balik dari Balai Polis Sentul di mana satu kematian telah berlaku di lokap dan saya telah berjumpa dengan keluarga mereka.
Nombor satu adalah mengenai penjawat awam. Sebenarnya, security of tenure Tuan Yang di-Pertua. Akan tetapi, pada tahun 1997 atas sebab-sebab yang tertentu pekerja-pekerja yang terlibat dengan pembersihan dan pengawal keselamatan di mana perlu macam-macam pengawalan iaitu they must be given the best security tetapi pada tahun 1997, ia telah diswastakan. Apakah yang telah terjadi? Sekarang, kerajaan membiayai lebih kurang RM1.5 bilion setiap tahun. Sebenarnya pembayaran itu adalah kepada kontraktor-kontraktor yang selepas itu bayaran kepada pekerja-pekerja yang membersihkan dan juga pegawai keselamatan.
Lebih kurang RM500 juta ke atas dimakan oleh kontraktor-kontraktor ini. Dahulu kita tahu semua ini adalah orang-orang yang ada kaitan dengan pihak politik.
Tuan M. Kulasegaran a/l Murugeson - Ipoh Barat
Saya menyeru kepada kerajaan kerana macam-macam research telah dibuat.
Baru-baru ini, Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK) di mana mereka mengatakan lebih daripada 300,000 orang terlibat dalam hal ini di mana kita perlu memberi galakan kepada mereka, perlu memberi protection kepada mereka tetapi gaji dibayar lambat, gaji tidak dibayar, forced labour, semua ini berlaku. Macam mana mengatasinya? Satu di antaranya adalah kerajaan perlu menyerap semula. Ini adalah satu kesilapan yang dibuat pada tahun 1997 yang tidak boleh dimaafkan.
Tuan Yang di-Pertua, perkara ini bukan satu perkara yang biasa. Kalau kita ada security of tenure kepada macam-macam kakitangan di kerajaan, kenapa pula yang bawah sekali yang perlu diingat oleh kerajaan, perlu memberi bantuan kepada mereka, mereka telah dihina. Saya rasa kerajaan, Unity Government ini boleh mengatasi masalah itu dengan menyerap semula.
Tuan M. Kulasegaran a/l Murugeson - Ipoh Barat
Perkara pertama yang boleh dibuat adalah kita perlu hapuskan kontraktor- kontraktor pertengahan yang membuat keuntungan lumayan, kita perlu memberhentikan mereka. Kontrak-kontrak boleh diberi oleh kerajaan sendiri, nombor satu. Nombor dua, lama-lama ia diserapkan semula sebagai kakitangan penjawat awam.
Tuan Yang di-Pertua, dengan izin, dikatakan the services provided by cleaners was privatized in 1997 to develop the national economy, reduce the government financial burden as well as to increase efficiency, effectiveness and productivity. Semua ini tidak laku langsung. Privatization telah menjadi ‘piratization’. Itu memberi keuntungan kepada ahli-ahli politik. Saya rasa masa sudah datang untuk menyemak semula perkara ini dan mengambil tindakan yang tegas.
Kedua, adalah eKasih. Tuan Yang di-Pertua, kerajaan mengatakan bahawa miskin dan miskin tegar, orang-orang yang mendapat pendapatan yang kurang daripada RM1,200, RM1,100, dia perlu mendaftar dengan mereka sebelum mendapat manfaat.
Saya setuju itu adalah satu perkara yang bagus. Akan tetapi masalahnya adalah ini, di seluruh negara saya difahamkan ramai di antara mereka macam di Ipoh perlu didaftar dengan penjabat penghulu yang mengambil banyak masa di antara dua bulan hingga enam bulan. Sudahlah mereka menjadi miskin tegar, susah, ada lima ke enam orang anak, single mothers dan sebagainya, lagi disusahkan mengambil masa yang banyak kerana kekurangan kakitangan.
Saya rasa pegawai-pegawai di eKasih di ICU ini adalah pegawai-pegawai di antara yang terbaik. Akan tetapi kita perlu memberi pertolongan kepada mereka. Nombor satu, satu di antara caranya adalah memberi kuasa kepada Ahli Parlimen dan ADUN untuk mendaftar semua yang layak menjadi satu di antara eKasih. Kalau itu boleh dibuat, ia akan melancarkan dan menyenangkan semua proses. Kita Ahli Parlimen adalah on the ground, kita ada pegawai-pegawai, kita ada semua kebolehan berfungsi sedemikian untuk menolong pendaftaran tersebut.
Saya difahamkan banyak manfaat kerajaan tidak diterima, tidak boleh diambil oleh pekerja-pekerja yang mendapat pendapatan yang sangat kurang. Di antaranya adalah single mothers, penganggur, OKU dan sebagainya yang mengambil sangat banyak masa untuk pergi ke tempat di mana pendaftaran perlu dibuat, mengambil masa dan penyiasatan dan sebagainya...
Puan Hajah Salamiah binti Mohd Nor - Temerloh
Tuan Yang di-Pertua, Yang Berhormat Ipoh Barat, ingin mencelah boleh?
Tuan M. Kulasegaran a/l Murugeson - Ipoh Barat
Ya, quick.
Puan Hajah Salamiah binti Mohd Nor - Temerloh
Boleh ya. Saya ingin menyokong. Pertama, saya ingin menyokong apa yang dinyatakan oleh Yang Berhormat Ipoh Barat berkaitan dengan eKasih. Saya setuju juga bahawa kerajaan perlu melihat sistem eKasih sampai ke bawah dan memberikan – kita kata berikan kuasa untuk Ahli Parlimen dan ADUN untuk sama-sama memastikan siapakah golongan yang layak dikategorikan sebagai golongan yang miskin untuk didaftarkan sebagai eKasih. Okey, terima kasih.
Tuan M. Kulasegaran a/l Murugeson - Ipoh Barat
Terima kasih. Saya setuju kepada pandangan Yang Berhormat. Perkara yang ketiga adalah kematian di lokap. Baru- baru ini kita diberitahu bahawa satu kematian di Penjara Sungai Buloh di mana mayat itu telah dibawa ke Negeri Sembilan, di Tampin. Semasa nak menjalankan cremation, baru penjara memanggil dengan desak-desak, “Hallo, hallo. Sorry, sorry. Ini bukan mayat kamu, ini bukan anak kamu. Minta maaf, kita perlu substitute. Ini sudah salah dan sebagainya.” Tiga hari perkara ini di mana keluarga itu sangat susah hati, membiayai lebih daripada RM20,000. Ramai di antara keluarga mari sana di mana ingat anak itu yang bernama Laksman a/l Chandevan telah mati tetapi tidak mati, dia ada di lokap. Pegawai penjara memanggil dengan video menunjukkan dia masih hidup dan mayat yang salah telah dihantar.
Lagi macam mana saya hendak tanya, macam mana daftar kematian, registrar of death boleh mengeluarkan certificate tersebut? Macam mana ini berlaku? Bila di penjara, semua orang ada nombor di mana dia keluar dari satu tempat ke tempat yang lain, dia
Tuan M. Kulasegaran a/l Murugeson - Ipoh Barat
boleh dikenal pasti dengan nombor tersebut. Macam mana orang yang hidup boleh keluar mati, tetapi dia masih hidup, tetapi telah keluar dengan satu nombor yang lain sebenarnya patut sudah dikebumikan. Ini menjadi satu masalah yang besar.
Saya berjumpa dengan keluarga ‘Gabriel Shal’ yang benar-benar telah mati, itu satu masalah. Dia hanya umur 17 tahun, dia mati di lokap Sungai Buloh. Masuk penjara, direman pada 24 Februari dan mati pada empat hari yang lalu. Akan tetapi sampai sekarang, mayat itu belum dibenarkan keluar dari tempat sana dan menyusahkan keluarga mereka.
Saya hendak tanya soalan kepada Menteri, saya haraplah satu penyiasatan independent dibuat dalam hal ini dan tindakan diambil terhadap pegawai-pegawai yang telah menyeleweng dan negligent dalam hal ini. Saya tahu kerajaan ini kerajaan baharu, perlukan masa untuk mengetahui dan mengambil masalah-masalah ini. Akan tetapi, kematian di lokap adalah satu kematian yang tidak boleh diterima.
Sekarang kita semua dapat – kita berjanji dahulu bahawa tidak akan ada satu kematian pun di lokap, zero death in lock-up. Bolehkah ini dicapai? Adakah kerajaan rela untuk meminta maaf kepada keluarga yang anak mereka belum mati telah dikatakan telah mati dan membayar pampasan dan juga mengambil tindakan perkara macam ini tidak akan lagi berulang? Terima kasih Tuan Yang di-Pertua yang saya hormati.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Terima kasih. Saya menjemput Yang Berhormat Jerai.
Tuan Sabri bin Azit - Jerai
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan selamat petang. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua atas ruang untuk saya menyampaikan ucapan perbahasaan Belanjawan 2023 peringkat dasar pada hari ini. Belanjawan 2023 merekodkan kadar perbelanjaan sebanyak RM388.1 bilion. Walaupun begitu, belanjawan ini dilihat sedikit mengecewakan negeri-negeri yang ditadbir Perikatan Nasional apabila dinafikan haknya oleh Kerajaan Persekutuan.
Saya juga telah meneliti perbahasan dan ucapan Ahli Parlimen yang mengambil bahagian dan bersetuju berkenaan istilah reformasi institusi, satu anjakan paradigma yang dibawakan oleh Kerajaan Madani untuk memastikan Malaysia dalam adil dan bersih.
Selaras dengan pembawaan ini, kerajaan juga perlu bergerak dalam kerangka perubahan diri terutama Yang Amat Berhormat Tambun dengan meninggalkan politik dendam serta membuang sentimen perbezaan untuk negeri pembangkang dan kerajaan. Peruntukan yang diberikan mestilah sama rata dan adil untuk semua rakyat.
Tuan Sabri bin Azit - Jerai
Saya bersetuju dengan Yang Berhormat Muar yang menyatakan Malaysia adalah negara yang sistem institusinya merentasi parti politik. Meletakkan kepentingan negara sebagai fokus utama adalah kewajipan sebagai Ahli Parlimen. Hari ini, Kedah antara negeri terbawah yang paling miskin di Malaysia.
Kerajaan Persekutuan diseru untuk memberikan perhatian lebih kepada negeri ini di samping usaha keras kerajaan negeri yang diketuai oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar. Tuan Yang di-Pertua, saya ingin menyentuh berkenaan keselamatan makanan di Malaysia. Menurut Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0) di bawah strategi subsektor padi dan beras, berhasrat untuk meningkatkan jumlah pengeluaran, menambah baik tahap sara diri dan menambah pendapatan pesawah padi untuk 10 tahun yang akan datang.
Penggunaan kaedah teknologi terkini seperti perkhidmatan dron kini mengubah landskap pertanian purba yang mampu mencapai kepada peningkatan jumlah pengeluaran dan menjana pendapatan pesawah. Penggunaan dron dapat mengurangkan risiko kesihatan ke atas pesawah yang sebelum ini terdedah dengan racun yang digunakan secara langsung yang boleh mendatangkan kesan kepada kulit, mata dan sebagainya.
Tuan Sabri bin Azit - Jerai
Namun begitu, harga dron yang mahal boleh merencatkan perancangan untuk mengembangkan Pelan Tindakan Dasar Agromakanan 2.0. Dengan perancangan Kedah yang ingin membawa tanaman sebanyak lima kali dua tahun, mungkin tidak dapat dilaksanakan tanpa kemudahan teknologi ini. Kerajaan hari ini mengambil pendirian untuk meneruskan penyaluran pelbagai subsidi dan insentif seperti harga padi, baja padi dan padi huma serta bantuan tunai.
Akan tetapi, saya ingin bertanya di mana pendirian kerajaan dalam menjadikan dron mampu milik kepada pesawah. Mungkin satu bentuk subsidi wajar diberikan kepada mereka yang layak berserta syarat tertentu. Selain itu, di bawah menambah baik tahap sara diri (SSL) Dasar Agromakanan, golongan pesawah dan pekebun kecil yang bertarung dengan cuaca tidak menentu terutamanya sewaktu musim tengkujuh, perlu diberikan perhatian oleh kerajaan. Namun, saya mencadangkan agar peruntukan musim tengkujuh pekebun kecil yang diberikan sebanyak RM800 dinaikkan kepada RM1,000 bagi meringankan lagi beban yang ditanggung akibat tidak boleh bekerja.
Saya mencadangkan kepada pihak kerajaan dalam Parlimen kita pada tahun 2020 dengan kesedaran yang tinggi telah meminda Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi meningkatkan hukuman yang lebih berat termasuk menurunkan had alkohol dalam darah, nafas dan air kencing. Saya menganggap, kita perlu mengorak satu langkah ke hadapan bersama pihak kementerian selain pindaan yang dilakukan sebelum ini.
Arak sememangnya jelas diharamkan dalam ajaran Islam dengan dalil firman Allah SWT dan hadis nabi. Pengukuhan dari sudut saintifik dengan penerbitan artikel daripada WHO itu turut wajar dijadikan asas terhadap tindakan dasar kerajaan seterusnya.
Saya mencadangkan supaya kementerian:
(i) meminda seksyen 2, Akta Eksais 1976 bagi menyelaras tafsiran ‘alkohol, bir mahupun acetylcysteine liquor’ kepada satu tafsiran yang jelas iaitu kesemua minuman adalah memabukkan;
(ii) menghapuskan had minimum alkohol dalam darah, nafas dan air kencing dengan maksud pengambilan alkohol ketika memandu boleh disabitkan dengan hukuman yang diperuntukkan; dan
(iii) menggerakkan kempen rentas kementerian secara meluas bagi mempromosikan visi hidup sihat tanpa alkohol.
Mohon penjelasan kementerian.
Tuan Yang di-Pertua, saya ingin mengambil kesempatan dalam ucapan perbahasan ini dengan menzahirkan ucapan takziah kepada mangsa banjir di seluruh negara. Peristiwa bencana banjir di Gunung Jerai beberapa tahun lepas yang diibaratkan seperti tsunami kecil masih terpahat dan menjadi trauma oleh penduduk sekitar.
Hari ini, beberapa buah negeri seperti di Johor dan Pahang antara yang paling teruk terkesan. Dilaporkan mangsa melonjak hampir 25,000 orang yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS). Dengan amaran yang masih kekal dari Jabatan Meteorologi Malaysia iaitu hujan berterusan pada tahap bahaya atau merah ke atas semua 10 buah daerah negeri memungkinkan untuk mangsa terjejas semakin bertambah.
Oleh itu, pihak kerajaan digesa menambah peruntukan seperti mana yang disebutkan oleh Yang Berhormat Pagoh, insentif dan bantuan tambahan segera untuk mangsa yang terjejas. Seterusnya, sayu hati terutama melihat anak-anak kita yang ingin menjalani SPM tetapi terkandas akibat banjir. Hingga 2 Mac yang lepas, sekitar 431 orang calon SPM tidak dapat menduduki peperiksaan. Mereka tidak dapat hadir ke pusat peperiksaan yang dijadualkan atau pusat peperiksaan berhampiran.
Saya ingin bertanya kepada pihak kementerian berkenaan anak-anak SPM yang terkesan. Adakah penjadualan semula akan mengambil kira dengan situasi banjir dan kesan yang dialami oleh calon? Kerajaan perlu memastikan situasi banjir ini terkawal dan pelajar berada dalam keadaan bersedia fizikal dan mental sebelum membenarkan menjalani peperiksaan semula.
Tuan Sabri bin Azit - Jerai
Seterusnya Tuan Yang di-Pertua, saya juga membangkitkan dua isu pendidikan yang berlegar dalam kalangan warga pendidik. Suara para guru amat saya titik beratkan demi kesejahteraan dan keberlangsungan pendidikan. Isu pertama yang sering memberikan tekanan dalam kalangan guru di luar sana iaitu berkenaan Sistem Pengurusan IDentiti (idMe) yang dilaporkan masih belum stabil atau sesuai untuk membuat pengisian termasuk markah ujian akhir sesi akademik.
Saya mengucapkan tahniah kepada Kementerian Pendidikan Malaysia yang telah meluluskan untuk memberikan autonomi kepada guru-guru dalam memilih sama ada untuk merekodkan dan melaporkan tahap penguasaan Penaksiran Bilik Darjah (PBD) secara luar talian atau menggunakan Sistem Pengurusan Penaksiran Bersepadu (SPPB) secara hibrid. Namun, langkah yang dibuat hanyalah solusi bersifat sementara.
Seperti yang dimaklumkan, guru-guru masih lagi terbeban sehingga mengganggu tugas hakiki iaitu mengajar dan membentuk anak bangsa. Mereka terpaksa mengulang isi perkara yang sama berkali-kali dan telah memakan waktu yang sepatutnya digunakan untuk melaksanakan tugas sebagai guru. Itu belum masuk berkenaan sistem trafik yang tinggi dan tidak stabil serta perlu melakukan penaksiran berterusan PBD.
Tidak terbayang guru yang terpaksa mengajar banyak kelas dan ramai murid perlu ditaksir. Saya mengesyorkan agar pihak kementerian tidak terburu-buru dalam meneliti isu ini. Sepatutnya sistem ini dilakukan pada sekolah rintis terlebih dahulu. Pihak kementerian perlu memantau dan menilai keberkesanan sistem ini terutama kepada membantu pengembangan murid. Seterusnya, memetik kata Yang Berhormat Menteri Pendidikan tempoh hari, iaitu tidak akan memansuhkan idMe. Oleh itu, pihak kementerian perlu menaik taraf sistem ini supaya ia mesra pengguna dan menyelesaikan masalah kesesakan trafik.
Untuk akhirnya Tuan Yang di-Pertua, saya ingin membangkitkan kebajikan seluruh kastam di bawah Kementerian Kewangan Malaysia. Umum diketahui bahawa betapa berdedikasinya pihak kastam menjalankan tugas mereka. Sasaran kerja terutamanya yang melibatkan kutipan hasil cukai tidak langsung tidak melebihi sasaran serta membawa hasil yang besar kepada negara.
Pada tahun 2022, pihak kastam berjaya memungut cukai tidak langsung negara berjumlah RM53.5 bilion sepanjang tahun 2022. Menurut Timbalan Ketua Pengarah Kastam, Datuk Sazali Mohamad, kutipan tertinggi itu merupakan satu sejarah dalam kutipan hasil cukai tidak langsung negara. Oleh itu, saya mencadangkan untuk ditubuhkan sebuah Suruhanjaya Perkhidmatan Kastam. Rasional penubuhan suruhanjaya ini antaranya bagi memastikan seluruh institusi kastam ditadbir urus dengan lebih sistematik, efektif serta mengurangkan kerenah birokrasi.
Dengan kata lain, urus tadbir dan tata kelola kastam dapat diteruskan melalui suruhanjaya ini dengan roh dan semangat mereka sendiri bagi satu nawaitu dengan slogan ‘Berkhidmat Memakmurkan Negara’. Maka, sesuai dengan komitmen dan iltizam yang telah diberikan oleh pihak kastam, pengesyoran untuk menubuhkan Suruhanjaya Perkhidmatan Kastam perlu disokong dan diluluskan. Satu minit.
Untuk akhirnya Tuan Yang di-Pertua, sekali lagi. Untuk akhirnya, jawapan Yang Berhormat Menteri Pendidikan terhadap isu jawi yang saya bangkitkan hanya berdasarkan jawapan pegawai di kementerian. Sebolehnya dalam Dewan yang mulia ini, jawapan konkrit daripada Yang Berhormat Menteri sama ada akan menamatkan terus jawi dalam soalan Pendidikan Islam SPM ataupun Yang Berhormat Menteri mempunyai keberdayaan politik untuk mengembalikan semula soalan jawi dalam kertas Pendidikan Islam dalam SPM.
Saya menyanjung tinggi sekiranya Yang Berhormat Menteri akan terus memartabatkan jawi seperti yang saya mohon penjelasan. Sekian, terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Terima kasih. Saya jemput Yang Berhormat Sungai Petani.
Dr. Mohammed Taufiq bin Johari - Sungai Petani
Terima kasih Tuan Yang di- Pertua. Izinkan saya awali perbahasan saya dengan memetik surah ayat *Al-Quran...
[Membaca sepotong ayat Al-Quran]* Yang bermaksud, “sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya:. Tuan Yang di-Pertua, izinkan saya mengalu-alukan kejujuran Yang Amat Berhormat Menteri Kewangan dalam membentangkan belanjawan yang lalu. Yang Amat Berhormat Menteri Kewangan menjelaskan tentang bagaimana situasi ekonomi negara kita kini. Pada belanjawan yang lalu, Yang Amat Berhormat Menteri Kewangan menetapkan tiga tekad yang memberikan keutamaan kepada 12 ikhtiar. Tekad dan ikhtiar inilah yang akan membawa negara kita ke arah sebuah negara madani.
Tuan Yang di-Pertua, saya juga mengalu-alukan pengumuman RM1.6 bilion untuk meneruskan penyaluran pelbagai subsidi dan insentif seperti harga padi, baja padi dan padi huma. Kesudian BERNAS untuk menyumbang sejumlah dana daripada hasil perkongsian keuntungan import juga dipuji. Ini membuktikan bahawa dengan kepimpinan yang baik dan kepimpinan yang diyakini, maka rundingan itu akan berjalan dengan lebih lancar.
Tuan Yang di-Pertua, saya ingin bertanya, selain daripada Program SMART SBB, adakah kerajaan bercadang untuk menyokong dan meramaikan usahawan-usahawan tani individu, koperasi, persatuan dan syarikat tempatan dan sudah pun mengusahakan banyak sawah terbiar atau yang tidak diusahakan oleh tuan tanah.
Tuan Yang di-Pertua, saya ingin mencadangkan memperkasakan unit lapangan kawalan penyakit dan perosak serta agronomi tanah dengan mengambil banyak pegawai di satu-satu kawasan supaya unit ini berfungsi dengan lebih baik. Saya juga ingin tahu, adakah kerajaan bercadang untuk menubuhkan semula satu buah agensi atau entiti kerajaan iaitu Lembaga Padi dan Beras Negara untuk urusan polisi, pentadbiran, pangkalan data dan kawalan padi, dan beras sebagai komoditi keselamatan negara?
Tuan Yang di-Pertua, adakah kerajaan bercadang untuk meneruskan rancangan untuk menyertai Konvensyen UPOV 1991, dengan izin, dan menggubal rang undang- undang kualiti benih tanaman? Tuan Yang di-Pertua, dalam kerangka membangun sebuah negara madani, generasi muda amatlah penting bermain peranan ini. Kita lihat, bagaimana negara kita telah pun mengimplementasikan Undi18. Maka dari itu, satu suasana yang kondusif amat-amatlah perlu.
Sebentar tadi, saya ditemui oleh sekumpulan mahasiswa untuk menyerahkan memorandum mengenai Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU). Tuan Yang di- Pertua, seperti yang kita lihat, AUKU setelah diluluskan pada tahun 1971, telah pun melalui tujuh kali pindaan, walaupun angka tujuh agak sensitif hari ini. Kita lihat bahawa pindaan yang terakhir pada 2019 dan kita lihat pada pindaan AUKU 1975, merupakan detik hitam dalam sejarah gerakan mahasiswa di Malaysia. Walaupun AUKU telah dipinda dan memberikan kebebasan untuk mahasiswa dibenarkan berpolitik tetapi AUKU tidak semata-mata terhadap itu sahaja.
Untuk membenarkan mahasiswa berpolitik semata-mata, itu merupakan satu pemikiran yang sempit. Saya ambil maklum bahawa Yang Berhormat Menteri Pendidikan Tinggi telah menyatakan di dalam dewan bahawa AUKU ini masih relevan, terutama daripada segi pentadbiran universiti dan Yang Berhormat Menteri juga memberikan komitmen bahawa Yang Berhormat Menteri akan mengadakan sesi libat urus bersama dengan mahasiswa dan golongan-golongan yang terlibat dalam AUKU ini supaya kita memberikan satu kebaikan dan menambah baik akta ini.
Saya mengambil maklum dan saya memuji keinginan Yang Berhormat Menteri dan saya juga mengalu-alukan pandangan beliau. Saya juga merayu supaya diadakan satu sesi libat urus atau town hall yang melibatkan golongan mahasiswa, pihak universiti,
Dr. Mohammed Taufiq bin Johari - Sungai Petani
pihak Menteri, Ahli-ahli Parlimen muda dan saya mencadangkan bahawa Parlimen ini merupakan tempat yang terbaik untuk kita mengadakan town hall. Saya yakin bahawa pihak Speaker dan juga pihak Parlimen bersedia untuk membuka ruang seluas-luasnya kepada anak muda menyuarakan suara mereka dan pandangan mereka.
Tuan Yang di-Pertua, kita melihat jelas bahawa seksyen 15A AUKU, kita lihat pada hari ini negara kita telah pun melahirkan pemimpin-pemimpin yang baik. Pemimpin- pemimpin yang lahir daripada mahasiswa sebelum zaman 70-an. Kita lihat bagaimana ketika berlakunya zaman Demonstrasi Baling. Ketika seorang sosok mahasiswa menggerakkan gerakan mahasiswa, memperjuangkan hak orang miskin, memperjuangkan hak rakyat, kini sosok tersebut membentangkan Belanjawan 2023 dan pemimpin tersebut bertekad untuk menoktahkan kemiskinan tegar di negara kita.
Tuan Yang di-Pertua, ini merupakan contoh mahasiswa yang lahir sebelum adanya akta ini dan kita lihat setelah akta ini berlaku adakah mahasiswa yang cukup berkualiti, yang berwawasan, yang lahir pada hari ini? Kita sedang ketandusan anak-anak muda yang berwawasan untuk negara Malaysia. Tuan Yang di-Pertua, kita juga melihat bahawa mahasiswa ini juga perlu menjadi jaguh rakyat.
Mahasiswa perlu diberikan keluasan sebebas-bebasnya untuk menyuarakan hak mereka. Kita lihat bahawa seksyen 15A AUKU dengan jelas menyatakan- pelajar, pertubuhan badan atau kumpulan pelajar dilarang memungut wang. Maka, pelajar terpaksa bergantung kepada kelulusan universiti atau pun dana-dana tidak rasmi.
Tuan Yang di-Pertua, mahasiswa atau anak muda merupakan aset bagi negara.
Anak muda bukan semata-mata hanya dibenarkan berpolitik tetapi anak muda perlu cakna, anak muda perlu peka dan anak muda perlu celik tentang kesukarelawanan.
Tentang seni kebudayaan dan pelbagai lagi. Anak muda khususnya mahasiswa perlu diberikan ruang dan peluang untuk berpersatuan.
Tuan Yang di-Pertua, maka bagi saya, akta atau peruntukan lapuk AUKU ini perlu disemak semula mengikut keperluan semasa. Saya faham jika AUKU diperlukan untuk mentadbir universiti. Namun, perlu kita ingat bahawa mentadbir universiti dan mentadbir mahasiswa merupakan dua perkara yang berbeza. Tuan Yang di-Pertua, acap kali saya mendengar perbahasan di dalam dewan ini, khususnya oleh parti oposisi atau pihak pembangkang tentang kesaksamaan peruntukan. Tidak hanya pembangkang, tetapi juga daripada pihak kerajaan turut menyuarakan.
Contohnya, Yang Berhormat Muar dan Yang Berhormat Pasir Gudang. Saya menyokong apa yang disuarakan oleh Yang Berhormat Pasir Gudang mengenai prinsip federalism yang perlu kita angkat dan prinsip ini perlulah kita bawa dan reformasi ini perlulah kita tanggung bersama.
Tuan Yang di-Pertua, namun begitu, peruntukan Parlimen ini akan digunakan untuk membangunkan dan membantu rakyat. Saya ingin bertanya, adakah ADUN Pembangkang di negeri Kelantan, Terengganu dan di negeri Kedah juga turut diberikan perbelanjaan atau dana yang sama? Ibarat tangan kanan berjabat, tangan kiri genggam belati. Dalam berbicara mengenai hak dan keadilan, dalam berbicara mengenai membantu rakyat, membangunkan kawasan tetapi ada Yang Berhormat di sebelah sana berbicara mengenai ‘tebuk atap’, ‘atap bocor’, ‘dinding rumah jiran rosak’ dan sebagainya.
Tuan Yang di-Pertua, Titah Tuanku jelas mengatakan bahawa kestabilan politik itu amat penting. Kita melihat setelah dilakukan ‘Langkah Sheraton’, negara ini dibelenggu oleh krisis politik. Bagaimanakah pelabur sudah tidak lagi percaya terhadap negara Malaysia? Kita mengalami kekelaman selama 33 bulan.
Bagaimana kita melihat, inginkan peruntukan yang sama, ingin membantu rakyat, dalam masa yang sama, ingin ‘tebuk atap’ dan ingin merampas kerajaan di tengah jalan?
Bagi saya, Tuan Yang di-Pertua, ini adalah suatu yang tidak seimbang. Tuan Yang di- Pertua, sewaktu Belanjawan 2023...
Tuan Afnan Hamimi bin Taib Azamudden - Alor Setar
Minta laluan, Yang Berhormat Sungai Petani...
Dr. Mohammed Taufiq bin Johari - Sungai Petani
Satu minit, Tuan Yang di- Pertua.
Kita melihat bahawa Menteri Kewangan telah pun menetapkan bahawa bebanan hutang yang tinggi...
Tuan Afnan Hamimi bin Taib Azamudden - Alor Setar
Yang Berhormat Sungai Petani, petik Kedah tadi.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Yang Berhormat Alor Setar, tidak diberi laluan.
Dr. Mohammed Taufiq bin Johari - Sungai Petani
...Tantangan ekonomi yang mengesankan rakyat dan ketidaktentuan ekonomi dunia...
Tuan Afnan Hamimi bin Taib Azamudden - Alor Setar
Terima kasih.
Dr. Mohammed Taufiq bin Johari - Sungai Petani
...Di sini saya ingin menyeru kepada seluruh Ahli-ahli Parlimen, kita perlu menggembleng tenaga untuk membawa negara ini ke arah sebuah negara yang baik untuk mengeluarkan kemiskinan yang dibelenggu oleh rakyat Malaysia. Cukuplah kita berpolitik dan berpolitik terus di dalam Dewan ini tetapi kita perlu lebih banyak berbicara mengenai polisi, perlu lebih banyak berbicara mengenai hal-hal yang membantu dan membangunkan rakyat Malaysia.
Maka dengan itu Tuan Yang di-Pertua, saya ingin mengakhiri ucapan saya ini dengan harapan segala persoalan dan cadangan yang saya bangkitkan ini mendapat perhatian Dewan dan mendapat perhatian Yang Berhormat Menteri dan juga perhatian pihak yang berwajib. Sekian, dengan ini Sungai Petani memohon menyokong Usul Rang Undang-undang Perbekalan 2023. Terima kasih...
[Tepuk]
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Saya menjemput Yang Berhormat Kulim-Bandar Baharu.
Tuan Roslan bin Hashim - Kulim-Bandar Baharu
*Bismillahi Rahmani Rahim.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh* dan salam sejahtera. Terima kasih kepada Tuan Yang di-Pertua kerana memberi masa dan ruang untuk saya berbahas Belanjawan 2023 yang berjumlah RM388.14 bilion. Ini merupakan belanjawan yang terbesar yang pernah dibentangkan di Dewan yang mulia ini.
Walaupun jumlah Bajet 2023 cukup besar, namun masih ada kelompangan- kelompangan yang perlu dibaiki supaya belanjawan ini betul-betul dapat memberi manfaat kepada rakyat yang semakin tertekan dan terhimpit dengan kos barangan yang semakin hari semakin meningkat di bawah kerajaan campuran sudah pun 100 hari memerintah menerajui negara ini yang penuh dengan retorik-retorik dan formula-formula yang tidak kesampaian. Namun, rakyat masih menunggu-nunggu apakah hala tuju kerajaan sampai hari ini. Saya tidak perlu menyentuh secara terperinci jumlah angka berbilion-bilion Ringgit yang diperuntukkan dalam belanjawan kali ini kerana ini lebih penting ialah kejayaan mengurus dan mentadbir perbendaharaan negara demi kesejahteraan rakyat.
Apa yang ingin saya sarankan juga kerajaan seharusnya mempunyai tekad untuk mengurangkan bahkan mengelakkan pembaziran yang terus berlaku saban tahun dengan meningkatkan tahap kecekapan dan ketelusan mengurus wang negara.
Tuan Yang di-Pertua, isu pendidikan merupakan agenda utama saya, dan amat sinonim dengan jiwa saya sebagai bekas pendidik. Jika ditinjau bajet pendidikan kali ini, Kementerian Pendidikan adalah yang tertinggi yang mendapat peruntukan iaitu RM55.2 bilion berbanding RM52.6 bilion pada tahun 2022.
Baik pulih sekolah daif yang paling diutamakan dan menarik juga ialah bekalan 50,000 buah komputer riba kepada sekolah-sekolah dengan jumlah peruntukan yang agak besar. Persoalannya dengan jumlah bajet itu, adakah 50,000 buah komputer itu diagihkan
Tuan Roslan bin Hashim - Kulim-Bandar Baharu
kepada 10 buah sekolah yang ada, maka sebuah sekolah akan mendapat hanya lima buah komputer riba sahaja ataupun kepada sekolah-sekolah yang terpilih sahaja. Jika kita bandingkan dengan Kerajaan Perikatan Nasional, menawarkan setiap guru satu komputer riba. Amatlah jauh berbeza dengan kerajaan campuran yang ada sekarang.
Tuan Yang di-Pertua, Program ProMak ataupun Program Makanan Kesihatan.
Saya mencadangkan Program ProMak iaitu program yang disumbangkan oleh BERNAS dan Central Sugars Refinery Sdn. Bhd. dengan kerjasama KPM dan KKM di mana membekalkan set makanan tengah hari yang berkhasiat kepada murid yang berada dalam kategori B40 yang melibatkan 20,000 orang murid sekolah-sekolah terpilih selama lima tahun dari tahun 2022 hingga tahun 2026. Ini melibatkan 3,000 orang murid di Kelantan, 8,000 di Kedah, 9,000 di Terengganu dan akan menyusuri ke Perlis. Saya mencadangkan program ini dilebarkan ke negeri-negeri lain untuk membantu keluarga kategori B40.
Bagi meringankan lagi beban tanggungan ibu bapa yang masih ramai anak-anak yang bersekolah, saya memohon pihak kerajaan menambahkan BAP ataupun Bantuan Awal Persekolahan daripada RM150 ke RM200.
Isu moratorium kepada pengusaha-pengusaha kantin di sekolah. Di sini saya agak tidak sependapat dengan Yang Berhormat Arau. Jika KPM menangguhkan lagi, maka saya amat simpati kepada sekolah-sekolah kerana inilah pendapatan tambahan untuk sekolah. Gunakan untuk membuat program-program, membeli keperluan dan kemudahan untuk murid-murid. Minta maaf Yang Berhormat Arau. Saya agak bertentangan di sini.
Tuan Yang di-Pertua, guru-guru digalakkan untuk meningkatkan profesionalisme.
Oleh itu, guru digalakkan untuk menyambung pengajian di peringkat Sarjana dan juga Doktor Falsafah (PhD). Saya cadangkan apabila guru-guru ataupun kakitangan awam ini telah habis pengajian mereka, sebaiknya berilah kenaikan tangga gaji bagi menggalakkan lagi mereka melanjutkan pelajaran.
Tuan Yang di-Pertua, memandangkan kos sara hidup semakin tinggi, pendapatan bersih semakin menyusut akibat hutang rumah, kenderaan, pinjaman peribadi, oleh itu saya mencadangkan tempoh bayaran balik pinjaman dilanjutkan kepada 15 tahun maksimum, seperti dahulu di mana hanya 10 tahun pada masa kini. Ini boleh meringankan beban peminjam.
Tuan Yang di-Pertua, Parlimen Kulim-Bandar Baharu sekali lagi meminta kementerian memberi perhatian serius jalan dari Kulim ke Bandar Baharu lebih kurang 50 kilometer yang perlu diturap semula kerana terlalau daif. Lampu-lampu yang tidak berfungsi, mohon segerakan untuk keselamatan rakyat.
Seterusnya, liputan internet yang terlalu lemah di banyak kawasan memberi kesukaran kepada rakyat. Projek Tebatan Banjir yang telah pun diluluskan di Bandar Baharu mohon dipercepatkan.
Tuan Yang di-Pertua, Projek Perumahan PR1MA yang dijalankan di Parlimen Kulim-Bandar Baharu. Pertama, Residensi Junjong, Kulim. Kedua, Residensi Sungai Ular.
Kedua-dua projek ini mengalami kelewatan hampir dua tahun. Pembeli sudah pun dikenakan bayaran pinjaman. Namun, rumah masih belum siap lagi.
Saya juga ingin mohon supaya identiti daerah-daerah di negeri Kedah dapat diwujudkan segera. Misalnya di Daerah Bandar Baharu mengikut konsep dalam Kedah 2035. Penjenamaan mengikut kekuatan dan potensi. Daerah Bandar Baharu merupakan daerah yang terkenal dengan durian. Oleh itu, pihak kementerian perlulah menjadikan Daerah Bandar Baharu sebagai hab durian akhirnya menjadi tempat persinggahan pelancong-pelancong.
Tuan Yang di-Pertua, isu keciciran murid di Chow Kit seperti mana disiarkan dalam muka depan Harian Metro 1 Mac 2023. Seramai 50 orang, anak-anak dan remaja Chow Kit dikenal pasti tidak mendapat pendidikan seperti kanak-kanak lain.
Kebanyakannya tidak pandai membaca dan memberi alasan tidak dapat belajar kerana keadaan rumah yang sempit. Keadaan itu berlarutan antara lima hingga tujuh tahun dan memerlukan perhatian serius daripada kerajaan. Berdasarkan laporan Harian Metro, ibu
Tuan Roslan bin Hashim - Kulim-Bandar Baharu
bapa anak lorong bimbang dengan masa depan anak-anak mereka yang semakin hari semakin hilang minat untuk belajar.
Tuan Roslan bin Hashim - Kulim-Bandar Baharu
Keadaan ini tidak boleh dibiarkan dan KPM perlulah tampil dengan penyelesaian tuntas untuk menyelamatkan bukan sahaja anak-anak Chow Kit, malahan mungkin di tempat lain yang semakin kurang motivasi untuk belajar.
Tuan Yang di-Pertua, saya juga ingin mencadangkan supaya monopoli kontraktor selenggara jalan-jalan dan pembersihan di negeri-negeri seperti THB, Idaman, Roadcare, Selia Selenggara diberikan kembali kepada kontraktor-kontraktor kecil untuk diberi peluang kontraktor-kontraktor kecil mendapat kerja.
[Tuan Yang di-Pertua mempengerusikan Mesyuarat] Tuan Yang di-Pertua, saya juga mencadangkan supaya penggunaan senjata api kepada anggota-anggota RELA dan Ahli-ahli RELA dibenarkan semula, setelah hampir dua tahun dinafikan penggunaannya.
Menu Rahmah Tuan Yang di-Pertua, saya juga cadangkan ia dilebarkan di R&R, di mana kita dapati harga makanan agak mahal. Juga perlu peninjauan harga barang- barang lain juga yang terlalu mahal seperti makanan ringan sehingga 70 peratus ataupun 80 peratus mahal dari kedai-kedai di luar.
Tuan Yang di-Pertua, baru-baru ini saya juga menerima maklumat mengenai kadar caj yang dikenakan tidak masuk akal yang dikenakan oleh badan bukan kerajaan untuk membantu mangsa penipuan scam dan pelaburan. Mereka ini terdiri daripada NGO yang dikatakan mengenakan caj permulaan RM5,000 untuk gerak kerja awal termasuk draf laporan polis serta apa yang disebut sebagai buka fail dan membuat publisiti di hadapan balai polis.
Kadar serendah RM5,000 itu sebenarnya...
Tuan Yang di-Pertua
Yang Berhormat Kulim-Bandar Baharu, boleh landing?
Tuan Roslan bin Hashim - Kulim-Bandar Baharu
Insya-Allah, mohon dua minit.
Tuan Yang di-Pertua
Tidak boleh, seminit sahaja.
Tuan Roslan bin Hashim - Kulim-Bandar Baharu
Okey, terima kasih- memandangkan pengguna yang sudah pun menjadi mangsa sindiket penipuan yang tidak berkesudahan dan di dalam negara kita.
Justeru, Tuan Yang di-Pertua, saya meminta Kementerian Dalam Negeri untuk menyiasat kewujudan NGO scammer ini daripada terus mengaut keuntungan mudah dengan mengenakan caj tertentu sesuka hati.
Tuan Yang di-Pertua, akhir sekali, saya juga mencadangkan supaya Projek Kedah Aerotropolis dibincangkan semula. Ini adalah kerana sekiranya projek KXP dan Sidam Logistics, Aerospace and Manufacturing (SLAM), ia akan menawarkan lebih daripada 35,000 peluang pekerjaan terutamanya di negeri-negeri di utara, seterusnya mengurangkan peratus pengangguran.
Okey, Tuan Yang di-Pertua, saya mohon tamatkan dengan sebuah pantun.
Kalau hendak membeli cermin, Belilah cermin tembus cahaya; Kalau mahu jadi pemimpin, Jadilah pemimpin lurus bicara. Sekian terima kasih. Saya mohon mencadangkan.
Tuan Yang di-Pertua
Baik, terima kasih. Saya jemput Yang Berhormat Lubok Antu.
Tuan Roy Angau anak Gingkoi - Lubok Antu
Terima kasih, Tuan Yang di- Pertua kerana mengizinkan saya untuk turut serta dalam perbahasan Peringkat Dasar Belanjawan 2023.
Tuan Yang di-Pertua, secara asasnya kami di pihak GPS bersyukur dengan peruntukan pembangunan sebanyak RM5.6 bilion di bawah Belanjawan 2023 kali ini.
Kami memahami bahawa walaupun peruntukan ini belum mencukupi untuk memenuhi 100 peratus hasrat dan keperluan untuk meneruskan projek-projek penting di Sarawak tetapi ia merupakan suatu permulaan yang cukup baik dan diharap di masa akan datang jumlah ini dapat ditingkatkan.
Tuan Yang di-Pertua, seperti yang saya tekankan dalam perbahasan titah saya sebelum ini, Sarawak harus dinilai bukan pada jumlah penduduknya tetapi pada keluasannya hampir seluas Semenanjung Malaysia. Keluasan negeri yang besar dan bentuk bumi yang mencabar mendatangkan banyak cabaran terutamanya bagi membangunkan kawasan luar bandar dan pedalaman. Justeru, saya berharap pengagihan peruntukan pembangunan di masa akan datang harus mengambil kira faktor ini.
Tuan Yang di-Pertua, saya percaya Ahli-ahli Yang Berhormat yang lain dari kawasan luar bandar Sabah dan Sarawak pastinya bersetuju bahawa masih banyak projek-projek pembangunan infrastruktur asas seperti jalan, elektrik dan air yang masih perlu dilaksanakan.
Hal ini kerana, sehingga kini masih ada projek-projek penting di kawasan luar bandar yang masih lagi tertangguh sejak RMK Kesembilan, RMKe-10 dan RMKe-11.
Saya berharap isu mengenai projek yang telah lama tertangguh ini diambil serius oleh Kerajaan Perpaduan hari ini kerana kita tidak mahu dilabelkan sebagai wakil rakyat yang hanya mampu sekadar berjanji sahaja. With all due respect Tuan Yang di-Pertua, it is time to walk the talk, dengan izin.
Tuan Yang di-Pertua, sebagai wakil rakyat dari Sarawak, saya amat mengalu- alukan peruntukan sebanyak RM20 bilion bagi menyiapkan Lebuhraya Pan Borneo.
Pastinya lebuh raya ini bakal memainkan peranan penting untuk menghubungkan bandar- bandar utama di Sabah dan Sarawak.
Persoalannya, bagaimana pula dengan jalan lain di Sarawak terutama di kawasan luar bandar dan pedalaman. Ini kerana jika dilihat pada peruntukan di bawah Kementerian Kerja Raya, hanya sekitar RM222 juta diperuntukkan tahun ini untuk membina jalan-jalan di seluruh Sarawak. Manakala bagi Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah sebanyak RM1.08 bilion diperuntukkan untuk jalan-jalan luar bandar tetapi tidak dinyatakan secara spesifik berapa banyak daripada peruntukan tersebut yang akan digunakan untuk meneruskan projek-projek di kawasan luar bandar Sarawak.
Tuan Yang di-Pertua, jalan merupakan infrastruktur asas yang amat penting. Di Sarawak masih banyak kawasan di hulu sungai dan di pedalaman yang memerlukan pembinaan jalan bagi menghubungkan mereka dengan pekan dan bandar terdekat. Saya khuatir kerana kebelakangan ini projek pembinaan sering kali tertangguh dan tergendala terutama apabila berlaku pertukaran kerajaan.
Saya ingin menyarankan kepada kerajaan khususnya pihak Unit Penyelarasan Pelaksanaan agar satu mekanisme dapat dirangka untuk menjamin kelangsungan pelaksanaan projek walaupun berlaku apa-apa perubahan dan krisis politik. Ini kerana yang menderita akibat daripada projek-projek yang tertangguh ini rakyat di luar sana.
Seperti yang dibangkitkan oleh sahabat saya, Yang Berhormat Baram, apabila bercakap tentang jalan di Sarawak kebanyakan jalan di kawasan luar bandar merupakan jalan-jalan tanah merah yang tidak lagi diselenggarakan oleh pihak syarikat balak. Di
Tuan Roy Angau anak Gingkoi - Lubok Antu
Parlimen Lubok Antu masih banyak kawasan-kawasan hulu sungai seperti di kawasan Ulu Batang Ai, Delok, Ulu Engkari, Menyang, Ulu Lemanak, dan Ulu Skrang yang masih menggunakan dan bergantung kepada perahu sebagai mod pengangkutan utama.
Tuan Yang di-Pertua, bayangkan setiap kali perjalanan bagi membeli keperluan asas di pekan-pekan terdekat penduduk-penduduk di kawasan hulu terpaksa berbelanja sekitar RM500 ke RM700 untuk menampung kos minyak diesel enjin perahu panjang. Ini belum lagi termasuk kos bulanan yang terpaksa ditanggung untuk membeli minyak diesel bagi pelaksanaan elektrik menggunakan generator terutama bagi kawasan-kawasan rumah panjang yang belum mendapat akses kepada bekalan elektrik 24 jam.
Dalam hal ini saya ingin mengesa pihak Kementerian Kerja Raya dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah untuk meneruskan pembinaan jajaran jalan masuk ke pelbagai kampung di Ulu Batang Ai sepanjang 25 kilometer yang bakal memberi manfaat kepada 4,000 orang penduduk rumah panjang termasuk menghubungkan kawasan sekolah dan klinik kesihatan Nanga Delok yang belum mempunyai akses kepada jalan darat. Jajaran ini juga telah pun diluluskan dalam RMKe-11 dengan nilai sebanyak RM187.5 juta.
Pada masa yang sama juga, saya berharap agar pembinaan jalan berturap dan Jambatan Sebeliau Narok ke Bilalarap sepanjang 38 kilometer yang telah diluluskan dalam RMKe-12 dengan nilai RM228 juta dapat diteruskan melalui Bajet 2023 ini. Jajaran jalan ini amat penting kerana ia adalah bekas jalan balak yang tidak lagi diselenggarakan dan tidak selamat untuk digunakan. Apabila siap kelak, jalan ini akan menghubungkan sekitar 2,000 orang penduduk di 28 buah rumah panjang dan juga SK Ulu Lemanak.
Tuan Yang di-Pertua, saya mengamati ucapan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dalam membentangkan Belanjawan 2023 dan saya sememangnya bersetuju bahawa isu seperti klinik dan sekolah daif seharusnya tidak lagi menjadi masalah pada tahun 2023 ini.
Untuk makluman Dewan yang mulia ini, di Lubok Antu terdapat kira-kira 10 buah klinik kesihatan di mana dua buah klinik kesihatan yang utama adalah Klinik Kesihatan Lubok Antu dan Klinik Kesihatan Engkilili.
Klinik-klinik kesihatan ini telah beroperasi sejak tahun 60-an dan amat memerlukan naik taraf daripada segi fizikal seperti pendawaian dan infrastruktur bangunan. Pada masa yang sama, penambahbaikan daripada segi infrastruktur sahaja adalah tidak memadai kerana klinik-klinik utama seperti KK Lubok Antu dan KK Engkilili ini mengalami masalah kekurangan peralatan perubatan penting seperti mesin hemodialisis, mesin ventilator dan juga kemudahan x-ray.
Di samping itu juga, kemudahan tempat wad bersalin juga amat terhad.
Kebanyakan penduduk terpaksa mendapatkan kesemua perkhidmatan ini di sekitar Hospital Sri Aman yang terletak 80 kilometer dari Lubok Antu.
Oleh hal yang demikian, Tuan Yang di-Pertua saya ingin memohon kepada Kementerian Kesihatan Malaysia untuk melihat kepada perkara ini.
Tuan Roy Angau anak Gingkoi - Lubok Antu
Untuk makluman juga, buat masa ini klinik kesihatan- Jenis 4, yang bernilai RM28 juta masih dalam proses pembinaan di mana ia telah dibina pada tahun 2019 dan hanya siap lapan peratus akibat kelewatan pihak kontraktor dan sepatutnya siap pada Mei tahun 2022. Justeru itu, Kementerian Kesihatan harus menyelesaikan isu kelewatan pembinaan klinik baharu ini agar penduduk di Lubok Antu tidak lagi perlu berulang alik ke Sri Aman untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan.
Tuan Yang di-Pertua, selain itu, saya juga ingin membangkitkan mengenai keperluan dan kerja-kerja menyelenggarakan naik taraf sekian-sekolah daif di kawasan Parlimen Lubok Antu. Antara sekian-sekolah daif yang memerlukan perhatian khusus oleh pihak Kementerian Pendidikan Malaysia iaitu SK Nanga Delok, SK Nanga Tebat, SK Empelam, SK Nanga Entalau, SK Nanga Tibu, SK Nanga Menjuau, SK Ulu Engkari dan SK Ijok. Semua sekolah ini adalah antara sekolah-sekolah kawasan hulu sungai yang memerlukan perhatian segera oleh Kementerian Pendidikan.
Tuan Roy Angau anak Gingkoi - Lubok Antu
Kebanyakan dari bangunan kelas, asrama dan kuarters guru yang terletak di hulu sungai telah usang dan rapuh dimakan anai-anai. Keadaan bukan sahaja tidak kondusif, malah membahayakan keselamatan para pelajar dan guru. Saya mendapat maklumat bahawa ada penduduk rumah panjang dan guru-guru yang sanggup berkorban mengeluarkan duit belanja sendiri demi membaiki sekolah mereka. Maka saya berharap dengan peruntukan kali ini, ia dapat membantu mereka tanpa perlu mereka mengeluarkan duit sendiri.
Tuan Yang di-Pertua, terlebih dahulu saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Menteri Komunikasi dan Digital atas tindakan segera dalam menyelesaikan aduan daripada guru SK Melaban berkenaan dengan pencapaian internet di sekolah mereka. Saya juga telah mengadakan perjumpaan bersama pihak SKMM di Sarawak dan mereka telah memaklumkan saya sebanyak 22 buah menara komunikasi telah dibina di kawasan Parlimen Lubok Antu dan 37 buah menara lagi akan dibina di kawasan hulu-hulu sungai seperti Ulu Lemanak, Ulu Skrang, Ulu Engkari dan Ulu Delok.
Apa yang saya ingin tegaskan adalah supaya mereka ini kelak bukan sahaja setakat didirikan tetapi ia mestilah berfungsi sepenuhnya menjelang akhir tahun ini.
Tuan Yang di-Pertua, selain daripada pembangunan infrastruktur, sebagai seorang peguam, saya juga ingin menyatakan wujudnya jurang di antara Sabah dan Sarawak dengan Semenanjung Malaysia dalam isu yang melibatkan institusi perundangan iaitu berkenaan dengan fasiliti dan kemudahan di mahkamah. Saya difahamkan inisiatif mahkamah bergerak di Sarawak pernah dilaksanakan sebelum ini di mana ia telah banyak membantu dalam pelbagai urusan termasuk pendaftaran kelahiran kanak-kanak yang tinggal jauh di pedalaman.
Justeru, saya menyambut baik rancangan kerajaan untuk memperuntukkan sebanyak RM12 juta untuk memperluas operasi mahkamah bergerak di pedalaman Sabah dan Sarawak. Mahkamah bergerak dengan fasiliti yang lengkap wajar disediakan oleh kerajaan dalam memastikan hak seseorang untuk mendapat akses kepada keadilan dapat dipanjangkan kepada penduduk-penduduk di kawasan luar bandar dan pedalaman Sabah dan Sarawak.
Dalam hal ini juga, saya ingin bertanya, apakah perincian serta rancangan kerajaan dalam usaha menambah baik fasiliti mahkamah di Sabah dan Sarawak? Ini kerana banyak bangunan mahkamah di Sarawak khususnya yang memerlukan penyelenggaraan dan penambahbaikan. Ini penting demi keselesaan pemegang- pemegang taruh yang perlu hadir ke mahkamah untuk menyelesaikan urusan mereka.
Oleh itu, saya berharap agar pihak kerajaan dapat melihat kepada perkara ini.
Tuan Yang di-Pertua, seperti rakan-rakan GPS yang lain— satu minit, Tuan Yang di-Pertua.
Tuan Yang di-Pertua
Okey.
Tuan Roy Angau anak Gingkoi - Lubok Antu
Tuan Yang di-Pertua seperti rakan-rakan saya yang lain dari dalam GPS, saya juga amat menzahirkan rasa terkilan saya terhadap tindakan Yang Berhormat Stampin yang mempersoalkan keputusan GPS untuk menyerah sepenuh-penuhnya kepercayaan dan akur akan Titah Yang di-Pertuan Agong untuk membentuk Kerajaan Perpaduan.
Pendirian GPS telah diperjelaskan di dalam Dewan yang mulia ini oleh Yang Berhormat Sri Aman semasa membahas Usul Undi Percaya ke atas Yang Amat Berhormat Perdana Menteri tetapi nampaknya Yang Berhormat Stampin masih seolah- olah tidak peka dan terus mempolitikkan isu ini. Saya ingin menasihatkan Yang Berhormat Stampin, kerajaan pada hari ini dibentuk dengan semua gabungan parti yang membentuk satu kerajaan. Janganlah kita saling bertelingkah sepertimana yang telah dikatakan oleh Yang Berhormat Beluran sebentar tadi.
Saya ingin menasihatkan Yang Berhormat Stampin agar ‘jangan menepuk air di dulang, nanti terpecik di muka sendiri’. Sebagai nasihat dan peringatan saya kepada Yang Berhormat Stampin, saya ingin memetik kata-kata Benjamin Franklin yang merupakan saintis dan juga ahli falsafah semasa menandatangani US Declaration, dengan izin “We must all hang together, or, most assuredly we shall all hang separately.”
Tuan Roy Angau anak Gingkoi - Lubok Antu
Sebelum saya mengakhiri perbahasan saya Tuan Yang di-Pertua, saya ingin menghadiahkan satu pantun untuk Yang Berhormat Stampin.
*Dari Kuching ke Kota Marudu, Singgah sebentar di Lubok Antu; Wahai Stampin usahlah meragu, Kesetiaan GPS menjunjung Titah Tuanku...
[Tepuk]* Sekian, Lubok Antu menyokong Belanjawan 2023. Terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua
Baik, terima kasih. Saya menjemput Yang Berhormat Setiu.
Tuan Shaharizukirnain bin Abd Kadir - Setiu
*Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh...
[Membaca sepotong doa]* Terima kasih Tuan Yang di- Pertua kerana memberi ruang kepada Setia untuk turut sama membahaskan Bajet 2023 yang sememangnya ditunggu oleh sekalian rakyat.
Terlebih dahulu, saya merakamkan ucapan terima kasih kepada 50,768 orang pengundi yang telah memilih saya sebagai Ahli Parlimen Setiu bagi penggal kedua.
Tuan Yang di-Pertua, Allah SWT telah berfirman dalam Surah Al-Ma’idah, ayat 8...
[Membaca sepotong ayat al-Quran] Maksudnya, “Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran dan jangan sesekali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil kepada sesiapa jua kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa.” Tuan Yang di-Pertua, Islam merupakan satu agama yang adil kepada semua rakyat sama ada Muslim mahupun non-Muslims. Syariat Islam telah memperuntukkan hak-hak asasi yang jelas bagi orang bukan Islam dan kebebasan itu dijamin pemerintah Islam. Bahkan mereka boleh hidup selamat di negara Islam. Gereja-gereja mahupun rumah ibadat agama lain turut boleh dibina. Non-Muslims bebas untuk hidup tanpa rasa takut mahupun terancam walaupun di negara yang majoritinya umat Islam.
Keadilan hukum Islam terserlah melalui kes perbicaraan yang dilakukan oleh seorang hakim yang adil yang bernama Syuraih ketika membicarakan kes baju besi Saiyidina Ali yang dicuri oleh seorang Yahudi di mana hakim tersebut memutuskan baju besi itu milik Yahudi disebabkan bukti-bukti yang kurang jelas daripada Saiyidina Ali sendiri.
Tuan Yang di-Pertua, perkembangan ekonomi semasa. Ekonomi Malaysia berkembang dengan kadar KDNK negara 8.7 peratus pada tahun lalu iaitu jauh lebih baik berbanding negara Asia Tenggara yang lain seperti Singapura yang hanya 3.8 peratus, begitu juga Indonesia hanya 5.3 peratus. Kadar pengangguran juga menurun 3.7 peratus pada suku tahun ketiga kepada 3.6 peratus pada suku tahun keempat. Ini menunjukkan ucapan yang sering dilaungkan oleh Pakatan Harapan yang mengatakan bahawa kerajaan lalu merupakan kerajaan gagal, meleset sama sekali.
Alhamdulillah, gelombang kebangkitan rakyat untuk menolak tanggapan tersebut telah dibuktikan melalui sokongan mereka dalam PRU Ke-15 baharu-baharu ini. Rakyat telah memilih seramai 74 orang Ahli Parlimen daripada Perikatan Nasional dengan menyapu bersih lapan buah kerusi di Parlimen Terengganu dan 14 Kerusi di Parlimen Kelantan dengan majoriti yang besar...
[Tepuk] Tuan Yang di-Pertua, saya merasa agak kecewa dan kesal apabila kerajaan campuran di bawah pimpinan Yang Amat Berhormat Tambun telah menyebut sebahagian daripada royalti minyak Terengganu akan disalurkan secara direct kepada rakyat tanpa melalui kerajaan negeri. Selepas penemuan minyak pada tahun 1974, kita mengetahui
Tuan Shaharizukirnain bin Abd Kadir - Setiu
Akta Pembangunan Petroleum 1974 telah dirangka oleh Almarhum Tun Salleh Abas yang telah ditandatangani oleh kerajaan negeri termasuk Kelantan dan Terengganu dengan lima peratus royalti disalurkan kepada kerajaan negeri direct hasil yang dikeluarkan.
Tuan Shaharizukirnain bin Abd Kadir - Setiu
Bermula tahun 1975 sehingga tahun 2000, hasil lima peratus tersebut telah disalurkan kepada Kerajaan Negeri Terengganu. Selepas itu kerajaan negeri di bawah PAS tidak menerima royalti tersebut sehinggalah apabila Kerajaan Barisan Nasional mengambil alih pemerintahan negeri selepas PRU Ke-11 tahun 2004. Hasil royalti tersebut telah disalurkan kembali sepenuhnya kepada kerajaan negeri walaupun ia atas nama dana khas dan selepas PRU14, Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika menjadi Perdana Menteri telah menyalurkan royalti tersebut dan ia berterusan sehingga PRU Ke-15 baru- baru ini.
Persoalannya, Yang Amat Berhormat Tambun dalam ucapan Bajet 2023 menyatakan sebahagian daripada dana tersebut akan disalurkan secara direct kepada rakyat tanpa melalui kerajaan negeri. Ini sekali gus menunjukkan status penyaluran royalti minyak ini tidak konsisten dan sentiasa berubah-ubah mengikut arus politik semasa sebagaimana juga Yang Amat Berhormat Tambun yang satu ketika dahulu antara orang yang memperjuangkan isu royalti petroleum pada Kelantan dan Terengganu bukan sekadar lima peratus tetapi sebanyak 20 peratus. Akan tetapi hari ini, beliau juga berubah dan tidak konsisten.
Tuan Yang di-Pertua, isu IPTS. Dalam jawapan Yang Berhormat Menteri baru- baru ini bantuan tidak diberikan kepada IPTS disebabkan IPTS berorientasikan business.
Sedangkan bagi saya tidak semua IPTS berorientasikan business. Ada yang berorientasikan kebajikan. Saya mencadangkan supaya bantuan diberikan juga kepada IPTS yang turut terkesan akibat COVID-19 untuk membolehkan mereka membayar emolumen pensyarah dan staf mereka.
Tuan Yang di-Pertua, isu perumahan. Rumah Mesra Rakyat di bawah SPNB sering berlaku penarikan diri kontraktor yang dilantik dan terpaksa diganti dengan kontraktor yang lain. Bila diganti yang baharu, yang baru pula menarik diri sehingga ada yang sudah lulus lama tetapi masih tidak dapat dibina disebabkan kontraktor yang dilantik menarik diri bersilih ganti. Dimaklumkan ia berpunca daripada ketidakyakinan mereka terhadap pembayaran oleh SPNB. Apakah langkah yang akan dibuat oleh kementerian untuk meyakinkan kembali kontraktor khususnya jaminan pembayaran awal kepada mereka?
Isu kemasukan HDB. Dalam soalan saya minggu lepas berkait HDB, saya mendapati jawapan yang diberikan oleh Yang Berhormat Menteri tidak menepati dengan soalan yang saya kemukakan. Soalan saya mudah sahaja. Adakah ada negeri yang menggunakan kepakaran HDB di Malaysia dan apakah kejayaan serta kesan kepada pemilikan tanah bagi bumiputera, jika ada? Sekali lagi saya mohon Yang Berhormat Menteri memberi jawapan kepada persoalan yang saya bangkitkan ini.
Status LPT3. Seperti sedia maklum, kerajaan sebelum ini telah selesai membuat kajian berkenaan dengan pembinaan LPT3. Oleh itu saya hendak tanya bila akan bermula pembinaan LPT3 ini. Berapa kos keseluruhan pembinaan? Saya berharap jajaran LPT3 ini mampu merancakkan sosioekonomi kawasan sekitar dan tidak lagi berlaku seperti mana jajaran LPT2 dahulu. Saya juga mencadangkan agar satu peruntukan disediakan untuk pembelian bot dan pemasangan CCTV di kawasan pesisiran pantai untuk mengelakkan daripada penyeludupan.
Tuan Yang di-Pertua, isu berkait dengan kawasan Setiu. Pertama ialah isu pemotongan rumput di Jalan Persekutuan. Saya dimaklumkan peruntukan kepada Roadcare telah dikurangkan daripada 12 pusingan setahun kepada sembilan pusingan setahun. Pohon dikembalikan kepada asal iaitu 12 pusingan setahun.
Kedua, secara ringkas Tuan Yang di-Pertua. Projek yang tertangguh pelaksanaan
kerana berlaku Notice of Change (NOC), dengan izin, Tuan Yang di-Pertua
(i) naik aras Jalan Ulu Seladang ke Bandar Permaisuri, berlaku NOC daripada RM6.6 juta kepada RM27 juta;
(ii) jambatan Desa Jaya Sungai Tong daripada kelulusan asal RM5.3 juta kepada RM9.41 juta; dan
(iii) Jambatan Pak Ba ke Pengkalan Merbau daripada kelulusan asal RM10 juta berlaku NOC dan kos baharu ialah RM16 juta.
Apakah status projek di atas, status kelulusan NOC ini?
Ketiga, saya mencadangkan pembinaan sebuah IPG di daerah Setiu di tanah milik Kementerian Pendidikan Malaysia bersebelahan dengan Sekolah Menengah Kebangsaan Penarek. Sekolah Menengah Kebangsaan Penarek juga perlu sebuah dewan untuk kegunaan warga sekolah.
Keempat, Setiu ada 12 buah sekolah rendah, sekolah kurang murid dan empat buah sekolah menengah yang kurang murid. Dicadangkan dibina Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Setiu di sebuah sekolah tersebut dan dua buah sekolah berdekatan dijadikan sebuah sekolah sahaja.
Kelima, sistem saliran dan perparitan dalam kawasan FELDA yang tidak diselenggarakan dan dibaik pulih sebagai contoh di FELDA Chalok Barat.
Tuan Yang di-Pertua
Okey Yang Berhormat Setiu, sudah habis?
Tuan Shaharizukirnain bin Abd Kadir - Setiu
Seterusnya, berkait dengan bangunan sekolah agama rakyat di FELDA Selasih yang sudah lama terbiar yang mana dahulunya digunakan untuk pembelajaran fardu ain kepada anak-anak peneroka pada waktu petang.
Keenam, PPS kekal untuk mangsa banjir perlu disegerakan pembinaan. Banyak PPS yang ada menggunakan balai raya yang kadang-kala balai raya tersebut turut tenggelam ketika banjir. Sebagai contoh di Setiu, Balai Raya Kampung Tasik, Dewan Orang Ramai Kampung Langkap yang sudah uzur dan sudah tidak mampu untuk memuatkan mangsa banjir dan tidak dapat menampung mangsa banjir dan juga Balai Raya Kampung Bukit.
Ketujuh...
Tuan Yang di-Pertua
Berapa semua sekali Yang Berhormat?
Tuan Shaharizukirnain bin Abd Kadir - Setiu
...Saya ingin tahu tentang status naik taraf Pondok Polis Jabi dan Pondok Polis Merang kepada balai polis. Sekian, Tuan Yang di-Pertua. Terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua
Terima kasih. Baik, sekarang saya jemput Yang Berhormat Shah Alam.
Tuan Haji Azli bin Yusof - Shah Alam
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam perpaduan dan salam Malaysia Madani.
Tuan Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, saya ingin menzahirkan rasa terima kasih kepada Tuan Yang di-Pertua kerana memberi ruang kepada saya untuk berbahas Bajet 2023 yang telah dibentangkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri pada 24 Februari yang lalu. Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mendoakan agar rakyat di negeri-negeri yang dilanda banjir khususnya di Johor agar tabah menghadapi ujian dan semoga keadaan pulih segera kepada keadaan sedia kala.
Tuan Yang di-Pertua, semua rakyat Malaysia khususnya orang-orang Islam mengetahui bahawa Perlembagaan kita meletakkan Islam sebagai Agama Persekutuan.
Kedudukan Islam di negara kita cukup kuat. Ia memberikan ruang yang luas bagi kita untuk mengisinya supaya Islam dapat menjadi wadah pembangunan negara di dalam
Tuan Haji Azli bin Yusof - Shah Alam
segala sektor dan aspek pembangunan, pembangunan sosial, pendidikan, ekonomi, kekeluargaan, kewarganegaraan, pengurusan, sains teknologi dan sebagainya.
Kedudukan Islam dilindungi oleh Perlembagaan negara kita dan segala kemudahan serta perbelanjaan negara boleh dipergunakan untuk pembangunan untuk semua sesuai dengan prinsip rahmatan lil ‘alamin, Islam rahmat untuk semua. Sebagaimana difirmankan oleh Allah SWT...
[Membaca sepotong ayat al-Quran] Al-Anbiya 107.
Saya ingin menyentuh kedudukan negara menurut Islamicity Indices ataupun mudahnya Islamic Index. Ia piawaian mengukur, menetapkan tanda aras matlamat pencapaian sesebuah institusi dan negara menurut nilai-nilai Islam di sudut ekonomi, perundangan dan urus tadbir, hak kemanusiaan dan politik serta hubungan antarabangsa.
Malaysia sebagai sebuah negara yang majoritinya umat Islam jauh ketinggalan berbanding dengan negara-negara bukan orang Islam. Malaysia berkedudukan di tangga nombor 39, jauh ketinggalan berbanding dengan negara-negara seperti New Zealand yang berkedudukan di tangga pertama, diikuti oleh negara Scandinavia seperti Norway, Denmark dan seumpamanya dan lain-lain negara Barat. Di Asia walaupun Malaysia dinilai di ranking yang lebih baik berbanding dengan UAE dan juga Qatar sebagai sebuah negara Islam, tetapi Malaysia tetap ketinggalan berbanding dengan Jepun, Korea dan juga Singapura.
Sebab itu Tuan Yang di-Pertua, saya amat bersetuju dengan Bajet 2023 Malaysia Madani ini yang memberikan penekanan kepada reformasi institusi dan tata kelola bagi memulihkan keyakinan rakyat...
[Tepuk] Memulihkan keyakinan pelabur, business community dan masyarakat antarabangsa terhadap negara.
Tuan Haji Azli bin Yusof - Shah Alam
Kerajaan harus komited mendukung tekad Yang Amat Berhormat Perdana Menteri melakukan reformasi dalam aspek tata kelola, integriti pengurusan, memerangi rasuah, ketelusan dalam perolehan dan sistem penyampaian yang berkesan di semua peringkat tanpa ada ketakutan ataupun pilih kasih, without fear or favour, dengan izin, Tuan Yang di-Pertua.
Reformasi institusi ini juga harus terangkum dalam tata kelola GLIC ataupun GLC yang turut disentuh dalam Bajet 2023. Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) contohnya GLC, GLIC yang komited membela kebajikan angkatan tentera dan mempunyai kepentingan terbesar dalam Pharmaniaga Berhad.
Baru-baru ini negara digemparkan dengan laporan Pharmaniaga Berhad yang kerugian RM607 juta bagi tahun 2021 hingga mendapat notis PN17. Peruntukan untuk vaksin COVID-19 bernilai RM552 juta tidak terjual. Saya menyarankan kerajaan membuat scrutiny dan menjelaskan di manakah silapnya pembelian ini sehingga begitu banyak vaksin COVID-19 tersadai di dalam gudang Pharmaniaga..
Saya bersetuju dengan Yang Berhormat Machang, tidak adil hanya menyalahkan CEO Pharmaniaga tanpa ada kebertanggungjawaban dan penjelasan daripada kementerian yang berkenaan yang berkepentingan langsung dengan keperluan vaksin COVID-19 ini. Harus diingat tahun 2021 adalah di bawah kerajaan prihatin pimpinan Yang Berhormat Pagoh ketika itu.
Tuan Yang di-Pertua, saya memahami bahawa kerajaan berusaha memperkukuhkan ekonomi pelaburan negara melalui Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030. Namun, saya ingin menyarankan agar kerajaan juga menetapkan secara tuntas hala tuju industri pertanian dan keterjaminan makanan. Hanya satu cara sahaja untuk memastikan keterjaminan makanan negara dan keupayaan mengawal kos barangan asas ialah dengan menjadikan negara kita sebagai net exporter dalam industri ini. Kerajaan harus memanfaatkan satu juta ekar tanah yang terbiar dan melakukan revolusi pertanian berskala besar dengan memanfaatkan teknologi yang terkini.
Saya juga ingin mencadangkan agar satu kajian dalam mana-mana peruntukan tanah atau kanun yang boleh menjadikan syarat wajib kepada syarikat-syarikat swasta dalam kelapa sawit seperti IOI, Sime Darby, Guthrie selain daripada FELDA dan FELCRA supaya peruntukan tiga hingga lima peratus tanah pajakan sawit dan getah diperuntukkan
Tuan Haji Azli bin Yusof - Shah Alam
untuk tanaman bekalan makanan haiwan ternakan. Mereka memiliki 70 peratus tanah subur dalam negara. Mereka memiliki dana untuk membuat pelaburan, mereka mempunyai pengalaman mengurus ladang dan estet, kemampuan jentera dan keupayaan mendapatkan sumber tenaga import yang ramai dan pasukan tenaga pakar. Sampai masanya syarikat-syarikat konglomerat ini mengambil tanggungjawab nasional menyumbang kepada keterjaminan makanan negara.
Tuan Yang di-Pertua, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan jutaan terima kasih mewakili warga Shah Alam kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dan Kementerian Pendidikan atas kelulusan bajet pada tahun ini bagi pembinaan dua buah sekolah di Parlimen Shah Alam di bawah DUN Kota Anggerik. Untuk ke hadapan Tuan Yang di-Pertua saya mohon KPM juga melihat keperluan sekolah di DUN Batu Tiga di bawah Parlimen Shah Alam di Pinggiran USJ dan Seksyen 24 yang komposisi penduduknya semakin padat sehingga menyebabkan satu buah kelas, dilimpahi lebih daripada 45 orang pelajar.
Tuan Yang di-Pertua, Shah Alam turut terkesan teruk ketika banjir Disember 2021.
Kerajaan Selangor menganggarkan kerugian akibat banjir itu adalah sekitar RM1.4 bilion termasuk kos membaik pulih infrastruktur kira-kira RM400 juta. Bagi menangani isu banjir ini, pihak berkuasa tempatan, MBSA sedang melaksanakan Shah Alam Sustainable Urban Drainage Master Plan (SASuD). Kerajaan Negeri Selangor telah memulakan pembersihan dan pendalaman Sungai Klang sepanjang 56 kilometer melalui program Selangor Maritime Gateway (SMG). Dalam masa yang sama, Kerajaan Persekutuan memperuntukkan rancangan tebatan banjir.
Saya ingin bertanya kepada Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (KASA) apakah status peruntukan sebanyak RM550 juta bagi Projek Tebatan Banjir Sungai Damansara dan RM140 juta bagi rancangan Projek Tebatan Banjir Sungai Klang di Seksyen 25 Shah Alam? Adakah projek ini termasuk dalam kontrak yang di tender semula? Adakah akan tetap dimulakan pada Disember tahun ini juga sebagai mana yang dirancang sebelum ini?
Selain daripada itu Tuan Yang di-Pertua, saya juga ingin menyentuh kesesakan jalan raya yang semakin melanda Shah Alam termasuk juga kekurangan klinik di mana Shah Alam hanya mempunyai sebuah hospital, dua buah klinik kesihatan iaitu di Seksyen 7 dan di Seksyen 19. Kedua-dua fasiliti ini tidak mampu menampung keperluan dan memberi keselesaan kepada penduduk di Parlimen Shah Alam yang berjumlah 514,000 orang, dua kali- ganda lebih ramai daripada penduduk negeri Perlis. Saya mohon pihak KKM untuk menimbang keperluan klinik kesihatan di Setia Alam dan Taman Bukit Subang yang sangat mendesak di samping mempercepatkan kadar menunggu pesakit di hospital mahupun klinik ketika ini.
Sebagai penutupnya Tuan Yang di-Pertua, saya ingin tegaskan bahawa Bajet 2023 ini bukanlah bajet copy and paste seperti yang dibual kosong oleh pihak di sebelah sana tetapi ia merupakan bajet yang berdasarkan kepada merit membela golongan miskin tegar, B40 dan yang memerlukan. Ia merupakan bajet pragmatik mengikut unjuran pertumbuhan ekonomi dunia dan ia merupakan bajet yang jujur berdasarkan kekuatan negara kita.
Saya ingin hendak mengingatkan kepada rakan-rakan Yang Berhormat Ahli Parlimen Kerajaan Perpaduan supaya setulus hati menghormati dan menjunjung Titah Yang di-Pertuan Agong. Kerajaan ini perlukan lima tahun, solid lima tahun untuk mengekalkan kestabilan untuk menarik pelaburan, memacu ekonomi, memupuk kesatuan, menunaikan mandat dan membela rakyat.
Biarlah Yang Berhormat Pagoh terus berangan seperti pungguk rindukan bulan, biarlah Yang Berhormat Marang terus meratap menebuk atap, biarlah lenggok pembangkang di hadapan seolah-olah menjunjung titah tetapi di belakang membuat onar untuk kembali memerintah. Biarlah Si Luncai terjun dengan ‘Langkah Sheraton 2.0’ mereka. Malaysia Madani akan terus maju. Maju minda, maju rohani, sejahtera di dunia, sejahtera ukhrawi. Tuan Yang di-Pertua, Shah Alam menyokong Bajet 2023. Sekian, terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua
Terima kasih. Saya jemput Yang Berhormat Kuala Kangsar.
Datuk Iskandar Dzulkarnain bin Abdul Khalid - Kuala Kangsar
Bismillahi Rahmani Rahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, dan salam sejahtera.
Tuan Yang di-Pertua, terima kasih kerana memberi peluang kepada saya untuk terlibat dalam sesi perbahasan belanjawan pada kali ini.
Dari Kuala Kangsar memandu kereta, Jalan sesak di Terowong Menora; Kalam bismillah pembuka kata, Memberi tanda memula acara. Isu pertama yang ingin saya bawakan adalah berkenaan pemerkasaan agenda Bumiputera. Saya tertarik dengan bantuan pemilikan pegangan hartanah bumiputera di lokasi utama dan strategik penyewaan kepada usahawan Bumiputera oleh Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) sebanyak RM50 juta. Usaha ini perlulah dilaksanakan secara telus. Saya hendak mencadangkan agar Bumiputera yang dimaksudkan disasarkan bukan sahaja kepada golongan T20, M40 juga boleh diberi peluang memiliki hartanah di lokasi strategik dengan bantuan kerajaan.
Saya ambil kesempatan ini juga menyeru PUNB memberi peluang kepada Bumiputera bukan sahaja di kawasan-kawasan bandar seperti Kuala Lumpur dan Petaling Jaya tetapi beri peluang kepada Bumiputera di kawasan saya juga. Elaklah daripada pemberian-pemberian seperti ini melihat kepada rakyat yang menyokong kerajaan sahaja.
Bagi keadilan kepada semua rakyat Malaysia tanpa memilih fahaman politik.
Isu yang seterusnya adalah berkenaan kewangan. Keadaan ekonomi semasa pasca COVID-19 menyaksikan ramai rakyat Malaysia memohon pinjaman dari bank.
Seperti yang kita sedia maklum, kadar OPR yang sentiasa meningkat akan membawa kepada kadar faedah yang tinggi dan bank dengan bangganya mengumumkan, “Kami telah berjaya mencatat keuntungan tinggi pada tahun ini.” Sekali gus jurang antara miskin dan kaya menjadi semakin ketara setiap hari.
Justeru itu, mengambil kira situasi ini, saya ingin mencadangkan agar kerajaan meletakkan moratorium bersasar untuk pinjaman peribadi dan perniagaan ditujukan kepada segmen B40.
Datuk Iskandar Dzulkarnain bin Abdul Khalid - Kuala Kangsar
Bank telah pun mempunyai data yang komprehensif berhubung pelanggan B40, maka pelaksanaannya bukanlah sesuatu yang sukar. Saya juga ingin menambah dan mencadangkan agar kerajaan mengarahkan dan mengkaji semula dan tempoh maksimum bayaran pinjaman peribadi daripada 10 tahun kepada 15 tahun dan 20 tahun agar bayaran bulanan dapat dikurangkan dan seterusnya membantu peminjam-peminjam ini.
Isu yang seterusnya adalah berkenaan dengan keselamatan makanan. Seperti yang kita sedari, import makanan Malaysia bernilai lebih daripada RM60 bilion setiap tahun. Ini angka yang cukup besar serta tidak mampan dan saya percaya isu keselamatan makanan merupakan kerisauan besar di kalangan kita, tidak kira pegangan politik.
Saya berpendapat, sekiranya lebih banyak kawasan tanaman diperuntukkan kepada para petani sebagai contoh di kawasan saya sendiri di Kuala Kangsar, lebih banyak makanan dapat dihasilkan. Jikalau di tinjau di kawasan-kawasan Kuala Kangsar banyak dilihat tanah-tanah saku yang tersepit di antara tanah-tanah besar serta kawasan pembangunan. Oleh itu, kita harus membebaskan tanah-tanah terbiar ini daripada birokrasi majlis daerah dan di peringkat negeri.
Datuk Iskandar Dzulkarnain bin Abdul Khalid - Kuala Kangsar
Justeru ini, saya ingin menyeru agar kerjasama di peringkat negeri dan persekutuan mendefinisikan semula status tanah ini untuk membolehkan penggunaannya serta-merta walaupun secara sementara barangkali sewaan tiga tahun hingga lima tahun.
Kerajaan boleh mengoptimumkan penggunaan tanah saku ini untuk pertanian kontan di serata negara melalui kerjasama dengan cara agensi, Jabatan Pertanian dan persatuan- persatuan penduduk.
Isu yang saya ingin bawakan seterusnya adalah berkenaan sukan. Cadangan kerajaan menaikkan potongan cukai sebanyak 10 persen kepada pendapatan agregat kepada individu dan syarikat yang menyumbang kepada organisasi bukan berasaskan keuntungan yang melaksanakan program sukan di peringkat akar umbi disambut baik.
Saya hendak mohon kepada kerajaan agar proses mendapatkan potongan cukai ini dipermudahkan dan jelas. Usaha ini saya yakin akan menggalakkan individu dan syarikat untuk menaja atau menyumbang kepada aktiviti-aktiviti sukan. Insentif cukai ini jika dilaksanakan sebaiknya, akan meningkatkan lagi nilai industri sukan negara.
Seperti yang kita ketahui, industri sukan global dinilai sejumlah USD440.77 bilion setahun. Di Malaysia, Jabatan Perangkaan membuat penilaian bahawa industri sukan negara bernilai RM18.8 bilion pada tahun 2017 dan kita ada data yang menunjukkan bahawa terdapat lebih RM845 juta bertukar tangan dalam penjualan alat sukan dan rekreasi di antara tahun 2018 sehingga tahun 2021.
Menyedari hal ini, Kerajaan Perikatan Nasional sebelum ini memulakan insentif Pelan Induk Industri Sukan Malaysia (PISMA) di bawah Kementerian Belia dan Sukan.
Jadi, saya harap kerajaan melalui KBS akan meneruskan pelan komprehensif ini untuk memastikan nilai industri sukan negara terus berkembang dengan cara efektif dan tersusun.
Selain itu, saya juga mahu membangkitkan isu berkenaan Bantuan Infrastruktur Sukan iaitu sebanyak RM324 juta. Saya harap Bantuan Infrastruktur Sukan yang diumumkan ini dapatlah diagihkan untuk semua kawasan tanpa mengira parti. Kawasan saya di Kuala Kangsar amat memerlukan peruntukan sukan ini. Saya turut tertarik dengan pengenalan geran padanan sebanyak RM50 juta. Saya ingin mencadangkan kepada kerajaan agar geran ini diberikan seadil-adilnya untuk semua sukan. Terdapat kegelisahan di luar sana, khususnya suka-sukan yang tidak popular di Malaysia, risau sukan popular sahaja yang dapat manfaat seperti bola sepak dan badminton.
Berkenaan isu belia pula, peranan Jabatan Belia dan Sukan Negara khususnya bahagian pembangunan belia dilihat semakin tenggelam, manakala institut baru di bawah KBS iaitu i-LEAD dilihat aktif sama ada melaksanakan program-program belia dan seakan-akan berunsur politik. Sama seperti BTN yang sebelum ini dimansuhkan oleh zaman Kerajaan PH, 22 bulan yang lepas.
Saya ingin mencadangkan kepada kerajaan agar peranan Bahagian Pembangunan Belia KBS diteliti semula dan sekiranya bertindih fungsinya dengan i- LEAD, buatlah keputusan segera bagi mengelakkan pembaziran sumber dan kewangan kerajaan. Seterusnya saya menyeru agar KBS lebih aktif dalam merangka program- program yang membangunkan anak muda ke arah cinta akan negara tanpa prejudis dan kepada fahaman politik.
Seterusnya isu kebajikan. Baru-baru ini isu kebajikan kebanyakan artis, pelakon dan penggiat seni di belakang tadbir hangat diperkatakan di luar sana. Saya difahamkan ada di antara cameraman, dengan izin, yang sampai terpaksa menjual kamera kerana tidak mampu menanggung kos hidup. Walhal, alat utama mereka mencari rezeki, belum lagi cerita artis yang tercedera semasa berlakon dan perlu rawatan di hospital yang mempunyai kos yang tinggi. Jadi, saya mencadangkan agar diberikan insentif seperti insurans atau bantuan khas kepada mereka ini untuk mereka meningkatkan mutu seni negara.
Selain itu, saya ingin menyentuh sedikit berkenaan eKasih. Saya ingin mencadangkan kepada kerajaan agar dipermudahkan proses pendaftaran eKasih.
Proses ini boleh dilakukan melalui empower, dengan izin, ketua-ketua kampung, penghulu
Datuk Iskandar Dzulkarnain bin Abdul Khalid - Kuala Kangsar
untuk melaksanakan pengesahan ini. Mudahlah rakyat menerima bantuan, tidak kira di kawasan kerajaan mahupun pembangkang.
Saya ingin menyeru kerajaan agar program-program disebut dalam ucapan bajet khususnya secara spesifik menyebut kawasan Parlimen melibatkan kami sebagai Ahli Parlimen. Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dan menteri-menteri datanglah ke Parlimen saya Kuala Kangsar dan maklumlah kepada saya, besarlah hati saya untuk membawa Ahli-ahli Yang Berhormat semua menjelajah sekitar Kuala Kangsar...
[Tepuk] Isu yang terakhir adalah berkenaan dengan pendidikan. Saya merasa kecewa kerana sebelum ini saya duduk di Dewan Negara sebagai Senator, saya diberi ruang yang secukup-cukupnya oleh guru-guru dan Kementerian Pendidikan Malaysia untuk mengadakan tuisyen bahasa Inggeris yang percuma. Akan tetapi, setelah saya memenangi Parlimen Kuala Kangsar, program ini dihentikan dan seterusnya adalah kecewa bagi ibu-ibu mereka kerana anak-anak di kampung memerlukan pendidikan bahasa Inggeris yang secukupnya dan mereka ini merupakan pewaris kepada kita. Saya mohon Yang Berhormat Menteri Pendidikan, tengoklah perkara ini.
Terakhir adalah berkenaan TVET. Salah satu yang hendak diperkenalkan oleh kerajaan menerusi kerjasama awam swasta ialah pengambilan institusi TVET melalui IKBN, ILP oleh syarikat terpilih. Saya harap perkara ini dapat diperhalusi dengan teliti.
Benar, sesetengah IKBN dan ILP underutilized, dengan izin, data menunjukkan kurangnya kemasukan pelajar yang berminat dengan TVET. Selain kurangnya promosi, perkembangan pekerjaan dalam sektor gig juga antara faktor kurangnya belia-belia berminat memasuki institusi latihan TVET ini.
Akhir kata, saya ingin mengambil kesempatan sekali lagi mengucapkan terima kasih atas masa yang diberikan. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Tuan Yang di-Pertua
Terima kasih Yang Berhormat Kuala Kangsar. Saya jemput Yang Berhormat Bentong.
Puan Young Syefura binti Othman - Bentong
Terima kasih. Bismillahi Rahmani Rahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Pertama sekali saya ingin mengucapkan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan dan seluruh warga Kementerian Kewangan yang telah berjaya merangka satu belanjawan yang penting dalam masa yang begitu singkat sejak menjadi kerajaan untuk menjamin masa depan negara yang mampan dan ia adalah satu pelan pemulihan ekonomi dan mempunyai visi pembangunan yang menepati konsep Madani. Terdapat beberapa perkara baik yang Bentong alu-alukan dalam pembentangan belanjawan pada kali ini terutamanya yang memberi manfaat kepada golongan belia.
Pertama ialah Bentong mengalu-alukan keputusan kerajaan untuk melepaskan mereka yang muflis yang nilai hutangnya kurang daripada RM50,000. Ini telah memberikan satu peluang yang baharu kepada hampir 130,000 orang rakyat Malaysia.
Ramai belia terjerumus dalam kancah muflis akibat hutang. Ada ya jatuh muflis kerana kegagalan dalam perniagaan, kerana pinjaman dan lain-lain. Oleh itu, melalui keputusan kerajaan ini, ia sedikit sebanyak memberikan peluang kepada mereka untuk membina kehidupan sekali lagi.
Bentong juga menyambut baik setiap usaha kerajaan untuk menggalakkan para belia memulakan perusahaan sendiri atau membiayai perusahaan sedia ada mereka serta setiap inisiatif yang diperkenalkan oleh kerajaan melalui belanjawan ini untuk menggalakkan para belia menjadi usahawan.
Puan Young Syefura binti Othman - Bentong
Bentong juga mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana kesanggupan kerajaan membiayai lesen motosikal B2 yang sememangnya memberikan kesan yang
Puan Young Syefura binti Othman - Bentong
sangat besar kepada anak muda. Ini adalah kerana kebanyakan anak muda pada masa kini yang bekerja dalam e-hailing sama ada sepenuh masa ataupun sambilan.
Akan tetapi, ada satu perkara yang ingin Bentong bangkitkan melalui perbahasan ini iaitu berkenaan dengan permohonan sumbangan Tunai Rahmah. Sejak dari dahulu lagi daripada nama yang berbeza, kerajaan yang berbeza, ada satu perkara yang membelenggu mereka yang ingin memohon bantuan ini iaitu mereka yang mempunyai pendaftaran perniagaan ataupun SSM tidak layak menerima bantuan ini.
Bentong juga merasakan syarat ini perlu dilonggarkan kerana jika kita mengambil kira keadaan pada masa sekarang, ramai yang memerlukan bantuan walaupun mereka masih lagi dalam perniagaan. Ada juga yang mempunyai SSM, tetapi tidak lagi berniaga.
Jadi, ramai yang mengeluh dan mengadu akibat daripada mempunyai SSM, mereka dinafikan daripada menerima bantuan ini dan kejadian ini berlaku sejak dahulu lagi. Oleh itu atas semangat madani, saya memohon kerajaan mengambil perhatian atas perkara ini dan kalau boleh diberikan kelonggaran sedikit berkaitan dengan isu ini.
Tuan Yang di-Pertua, beberapa hari yang lalu telah tular di akhbar mengenai masa menunggu yang lama di Hospital Bentong. Ada pesakit yang pulang ke rumah tanpa menerima rawatan kerana terlalu lama menunggu. Saya kira banyak faktor yang menyebabkan kejadian ini berlaku.
Baru-baru ini juga, Kementerian Kesihatan telah mengumumkan akan melanjutkan waktu operasi klinik kesihatan bagi menyelesaikan masalah kesesakan dan masalah menunggu yang terlalu lama. Oleh itu, Bentong ingin mencadangkan supaya klinik kesihatan di Bentong juga terpilih supaya dilanjutkan waktu operasi bagi meringankan beban di wad kecemasan Hospital Bentong.
Saya juga ingin menyentuh berkaitan dengan peralatan perubatan di klinik kesihatan. Ada yang sudah terlalu lama dan uzur. Saya mohon KKM ambil perhatian berkaitan dengan hal ini dan lakukan bancian ataupun pemeriksaan terhadap peralatan ini. Jika boleh diganti, gantikan dengan kadar yang segera.
Tuan Yang di-Pertua, melalui belanjawan ini, kerajaan telah mengumumkan peruntukan MARRIS dinaikkan kepada RM5.2 bilion dan kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM2.7 bilion untuk membaiki dan menaik taraf Jalan-jalan Persekutuan. Oleh itu, Bentong berharap agar peruntukan ini dapat disalurkan untuk kerja-kerja baik pulih Jalan Karak-Kuala Pilah dan jalan lama Kuala Lumpur-Bentong yang begitu teruk keadaannya.
Saya menyambung daripada Yang Berhormat Gombak yang mengatakan bahawa jalan lama dari Gombak ke Bentong adalah perlu diambil perhatian kerana keadaan jalan, cerun dan sebagainya perlu ditambah baik. Kalau kita lihat jalan-jalan ini adalah sangat penting untuk pengguna jalan raya terutamanya juga jalan raya Kuala Pilah kerana ia merupakan satu-satunya jalan yang ada untuk menghubungkan penduduk di DUN Pelangai dan daerah Bentong. Ini juga membawa kepada perkara yang seterusnya iaitu berkaitan dengan jalan juga.
Tuan Yang di-Pertua, setiap hujung minggu sering berlaku kesesakan di Lebuhraya Karak ke Gombak. Perkara ini sudah menjadi rutin dan memberi kesan yang tidak baik kepada pengguna lebuh raya sedangkan mereka membayar tol. Bayangkan perjalanan dari Bentong ke Kuala Lumpur saya kira ambil masa sejam ataupun 45 minit, namun jika hujung minggu, ia boleh mencecah sehingga tiga jam untuk saya sampai ke Kuala Lumpur. Saya berharap pihak Kementerian Kerja Raya dapat meneliti dan mencari penyelesaian sama ada jangka masa pendek ataupun jangka masa panjang untuk atasi kesesakan di Lebuhaya Karak-Gombak ini. Jika ada perancangan rangkaian baharu, saya percaya pengguna akan lebih selesa dengan usaha yang dilakukan oleh pihak kerajaan.
Kedua ialah kita juga sedia maklum ada jalan yang boleh dilalui, namun jalan sedia ada iaitu state road dengan izin, tidak mampu lagi menampung pengguna dengan agak lama. Tidakkah ada rancangan daripada pihak Kementerian Kerja Raya untuk bercadang atau mewujudkan jalan baharu atau lebuh raya bagi memudahkan pengguna
Puan Young Syefura binti Othman - Bentong
dari Negeri Sembilan, Melaka, Johor untuk sampai ke Pantai Timur dengan lebih cepat khususnya kawasan saya, Bentong.
Tuan Yang di-Pertua, Bentong merupakan sebuah bandar yang kini semakin pesat membangun. Kapasiti penduduk Bentong kini semakin bertambah. Namun, Bentong masih lagi mempunyai masalah kekurangan rumah-rumah mampu milik. Ini ialah masalah terutamanya kepada golongan muda yang tidak memiliki rumah. Kebanyakan mereka tinggal di Bentong bersama keluarga ataupun menyewa. Oleh itu, saya mohon agar kerajaan mempertimbangkan untuk membina satu projek rumah mampu milik di Bentong agar penduduk Bentong mampu mempunyai rumah sendiri. Apabila saya menyebut rumah mampu milik, ia harusnya benar-benar mampu milik dan mampu dimiliki oleh warga Bentong.
Tuan Yang di-Pertua, konsep Malaysia Madani yang dicetuskan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri ini adalah satu visi yang menyeluruh dan inklusif. Namun, ia juga perlu mempunyai fokus, bukan hanya sebuah kerangka yang terbuka. Saya menyatakan sedemikian kerana kawasan saya, Bentong adalah sebuah kawasan yang tidak jauh dari bandar Kuala Lumpur. Apabila siapnya pembinaan ECRL nanti, tidak mustahil Bentong akan menjadi sebuah bandar satelit Kuala Lumpur. Namun, keadaan fasiliti dan infrastruktur di Bentong tidak menggambarkan seperti ia ialah sebuah bandar kecil yang mampu menjadi bandar satelit dalam masa lima hingga sepuluh tahun lagi.
Di Bentong, tiada kemudahan untuk bersukan yang lengkap untuk warga Bentong terutamanya golongan belia yang beriadah dan bersukan. Golongan belia di FELDA di sekitar Bentong contohnya, saya amati kebanyakan mereka meminati sukan permotoran motocross, dengan izin. Namun, tiada litar yang khusus untuk mereka. Oleh itu, saya mohon kepada Kementerian Belia dan Sukan agar mempertimbangkan untuk pertamanya, membina sebuah kompleks sukan yang lengkap dengan fasiliti sukan di Bentong. Kedua, saya memohon pertimbangan pihak KBS untuk membina dua buah litar motocross di kawasan Bentong. Satu di FELDA Mempaga dan satu lagi di kawasan Pelangai. Mungkin suatu hari nanti Bentong bakal melahirkan pendukung-pendukung atau belia-belia yang mampu memberikan nama atau menaikkan nama Malaysia ke persada dunia.
Selain itu, Bentong juga merupakan sebuah kawasan yang boleh dijadikan pusat agropelancongan yang baik. Terdapat banyak kawasan yang berpotensi menjadi pusat pelancongan yang sekali gus membantu penduduk kawasan meningkatkan pendapatan mereka. Jadi, saya berharap dan saya mencadangkan agar Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya dapat juga memberikan perhatian di sebuah kawasan di Bentong iaitu sebuah gua batu kapur yang boleh dikomersialkan dan boleh dijadikan tempat tarikan pelancong ke Bentong. Gua itu ialah Gua Cinta Manis yang terletak di Kampung Cinta Manis. Saya telah meninjau ke kawasan gua tersebut dan saya lihat kawasan ini memerlukan kerja-kerja baik pulih dan saya memohon agar pihak MOTAC membantu agar gua ini dapat dijadikan satu daya tarikan yang baharu di Bentong.
Tuan Yang di-Pertua, Bentong juga ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada Kerajaan Malaysia atas penubuhan Jabatan Pembangunan Kanak-kanak.
Bentong berharap melalui penubuhan jabatan ini, kebajikan kanak-kanak di Malaysia akan lebih terjamin. Bentong juga berharap melalui jabatan ini, negara kita akan mempunyai dan melatih lebih ramai lagi pelindung kanak-kanak bagi menampung kekurangan yang ada. Penubuhan jabatan ini adalah bukti bahawa tiada sesiapa yang tercicir dalam kerangka visi Malaysia Madani.
Saya juga ingin bertanya, apakah status dan perancangan Mahkamah Jenayah Seksual? Status penambahbaikan peranan Mahkamah Jenayah Seksual terhadap kanak-kanak. Saya mohon pihak kerajaan memaklumkan apakah status keadaan peluasan Mahkamah Jenayah Seksual terhadap kanak-kanak? Adakah usaha diberhentikan oleh kerajaan disebabkan kekangan kewangan atau oleh kerajaan?
Berapakah Mahkamah Jenayah Seksual telah ditubuhkan selama ini? Apakah rancangan kerajaan dalam menambah baik perundangan yang berkaitan dengan jenayah seksual terhadap kanak-kanak?
Puan Young Syefura binti Othman - Bentong
Saya juga ingin mewakili hasrat mahasiswa dan mahasiswi di negara kita yang menginginkan akta AUKU dimansuhkan. Angkatan Muda Harapan telah meletakkan pemansuhan AUKU ini sebagai satu manifesto pilihan raya. Sedikit, satu minit lagi Tuan Yang di-Pertua. Walaupun kini negara kita telah ditadbir oleh Kerajaan Perpaduan, namun akta-akta atau undang-undang lapuk yang menindas perlu kita hapuskan. Ini adalah salah satu reform yang perlu diadakan untuk generasi masa hadapan. Oleh itu, saya mohon kepada Kementerian Pendidikan Tinggi untuk menimbangkan perkara ini.
Mansuhkan AUKU ataupun gantikan ia dengan satu akta yang lebih progresif dan menjamin kebebasan bukan sahaja kepada pelajar, bahkan kepada ahli akademik dan institusi pengajian tinggi.
Tuan Yang di-Pertua, keadaan persekitaran sekolah yang baik pastinya akan menyumbang kepada keselesaan pelajar dan aktiviti pembelajaran. Saya mendapat aduan daripada beberapa buah sekolah bahawa ada sekolah-sekolah di Bentong yang masih memerlukan perhatian daripada pihak kerajaan terutamanya sekolah-sekolah yang telah menjadi mangsa banjir pada tahun 2021 yang sehingga pada hari ini, sekolah- sekolah tersebut masih belum mendapat pembaikannya lagi. Jadi, saya harap pihak kementerian akan melihat perkara ini.
Terakhir, secara dasarnya, belanjawan ini nampak begitu memberangsangkan dengan memberikan fokus yang tepat untuk menjamin pembangunan ekonomi serta menjaga kebajikan rakyat. Namun begitu, Bentong berharap agar pelaksanaannya tidaklah dicemari dengan kerenah birokrasi yang tidak masuk akal. Biarlah ia telus dan dimudahkan oleh rakyat kerana banyak manfaat daripada belanjawan ini boleh dinikmati terus oleh rakyat tanpa melalui kerenah birokrasi. Terakhir –
Puan Young Syefura binti Othman - Bentong
*Roti dimakan bersama Cik Ani, Dicecah dengan kuah lontong, Kami menyokong Malaysia Madani, Sokongan padu dari warga Bentong.
[Tepuk]* Oleh itu, Bentong menyokong belanjawan ini. Sekian terima kasih.
*Assalamualaikum.
[Tepuk]*
Tuan Yang di-Pertua
Terima kasih Yang Berhormat Bentong. Take your breath. Saya jemput Yang Berhormat Kapar .
Dr. Hajah Halimah Ali - Kapar
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Auzubillah Minashaitan Nirajeem. Bismillahi Rahmani Rahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan selamat sejahtera.
[Membaca sepotong ayat al-Quran] Ertinya, “Janganlah kamu mencampuradukkan kebenaran dengan kebatilan dan janganlah kamu sembunyikan kebenaran sedangkan kamu mengetahuinya.” Surah Al-Baqarah, ayat 42.
Terima kasih kepada Tuan Yang di-Pertua kerana memberikan peluang kepada Kapar membahaskan Belanjawan 2023. Pertamanya, Kapar ingin menzahirkan takziah kepada mangsa banjir terutama di Johor yang telah pun mencecah lebih 50,000 orang.
Semoga dilindungi oleh Allah SWT dan digantikan harta benda yang hilang dengan yang lebih baik dan mudah-mudahan bersabar atas ujian.
Untuk makluman Tuan Yang di-Pertua, kenangan memori pertama saya sebagai mangsa banjir, umur tiga tahun, mungkin 25 kaki. Itu yang terbesarlah. Dan saya di atas meja. Memori yang masuk melalui tingkap masuk ke perahu untuk pindah di PPS masa itu dan juga ada stacks telur yang banyak-banyak. Itu yang dirakam masa umur saya tiga tahun lebih. Saya amat berempati kepada mangsa banjir.
Dr. Hajah Halimah Ali - Kapar
Tahniah kepada Yang Berhormat Menteri Kewangan atas pembentangan Belanjawan 2023. Kerajaan mencadangkan peruntukan berjumlah RM388.1 bilion dengan RM289.1 bilion untuk belanja mengurus, RM99 bilion bagi belanja pembangunan dan termasuk RM2 bilion simpanan luar jangka dan mengambil pendekatan dasar fiskal expansionary atau mengembang.
Tuan Yang di-Pertua, poin pertama yang saya hendak bawa ialah sebagai seorang wakil rakyat sebagai check and balance— jangan kecil hati kerajaan, saya hanya melontarkan perkara yang kita kena fikir bersama demi masa depan negara kita.
Belenggu riba, hutang negara dikatakan menjangkau RM1.2 trilion atau lebih 60 peratus daripada KDNK bagi tahun 2023. Bayaran RM46 bilion adalah untuk bayaran kadar faedah atau bunga pinjaman atau 16 peratus daripada hasil, iaitu telah melebihi had maksimum 15 peratus.
Soalan Kapar. Bagaimanakah kerajaan mahu mengeluarkan negara dari belenggu riba yang membarah ini? Apakah sudah ada road map melepaskan diri daripada amalan riba? Kita sudah pun sampai 66 tahun merdeka daripada penjajah British.
Sepatut dan sewajarnya diwujudkan satu pasukan ilmuan dari pelbagai kepakaran bagi memerdekakan negara kita daripada sistem riba.
Saya tertarik dengan...
Datuk Willie anak Mongin - Puncak Borneo
Yang Berhormat Kapar, Yang Berhormat Kapar. Puncak Borneo minta laluan sedikit boleh?
Dr. Hajah Halimah Ali - Kapar
...Sebuah artikel yang dikeluarkan oleh Jabatan Arkeologi UPM bertajuk Sistem Riba Boleh Akibatkan Kemelesetan Ekonomi Negara.
Sistem perbankan negara perlu meningkatkan pelaburan berasaskan risiko dan tidak hanya tertumpu kepada penjanaan keuntungan berasaskan produk menerusi hutang atau sistem riba.
Menurut pensyarah Prof Dr. Mohd Nazari Ismail, sistem yang tertumpu kepada keuntungan melalui hutang boleh mengakibatkan kemelesetan ekonomi sekali gus memberi kesan kepada kos sara hidup masyarakat. Inilah yang kita bincang selama ini.
Jadi, Kapar mengesyorkan memfokuskan kajian serius ke arah usaha murni ini, bebas riba.
Membanteras ketirisan wang yang boleh digunakan untuk kepentingan rakyat adalah tanggungjawab besar pemerintah. Slogan integriti, good governance, tata kelola baik dan memerangi korupsi, kronisme, nepotisme bukan hanya untuk dilaung-laungkan, mesti dibumikan oleh kerajaan, mesti diterjemahkan oleh kerajaan yang baik dan berwibawa. Jangan sama sekali no action, talk only (NATO).
Perpaduan dan kesejahteraan negara. Negara hanya boleh membangun dan berkembang dengan baik apabila penduduknya saling hormat menghormati, sayang menyayangi di antara satu sama lain. Mengurus diversiti dalam sesebuah negara adalah perkara penting dan utama agar potensi modal insan terfokus ke arah membangunkan negara, bukan sebaliknya menghancurkan nusa dan bangsa.
Kementerian Perpaduan Negara telah diperuntukkan sebanyak RM541,595,300 bagi perbelanjaan mengurus dan RM29,746,200 bagi pembangunan. Soalan saya, sejauh manakah pencapaian kerajaan mengawal haters bermaharajalela? Kita hendak cetuskan kasih sayang, kita hendak cetuskan keharmonian tetapi kalau ada haters yang bermaharajalela, sindrom fobia, curiga di antara kaum yang disemarakkan naratif pemisah di dada media massa sama ada media cetak mahupun media sosial yang lazimnya didalangi oleh pihak-pihak tertentu. Jadi, apakah tindakan kerajaan?
Tuan Yang di-Pertua, Indeks Perpaduan Nasional (IPNas) dibangunkan untuk mengukur tahap perpaduan dan keharmonian. Jadi, saya hendak tanya kepada kerajaan beberapa perkara yang memerlukan pencerahan.
Pertama, adakah kerajaan berpuas hati dengan pencapaian skor yang ada sekarang ini dan bolehkah Yang Berhormat Menteri jelaskan pada Dewan ini, apakah maksud sebenarnya IPNas ini? Apakah kerajaan sudah mempunyai senarai core values
Dr. Hajah Halimah Ali - Kapar
setiap kaum dan etnik dalam negara dan senarai perkara yang paling sensitif dalam kalangan pelbagai kelompok besar dalam negara kita? Saya maksudkan ialah perkara- perkara yang jangan sama sekali diusik atau dibuat bahan lawak, seni, hiburan oleh mana- mana kelompok sama ada sengaja ataupun tidak sengaja kerana ia boleh mencetuskan ketegangan antara kaum. Tiga minit lagi, ya.
Tuan Yang di-Pertua, mengenai Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia
(MITRA). Saya difahamkan pada tahun 2022, sebanyak RM100 juta peruntukan bagi membangunkan sosioekonomi masyarakat India di Malaysia ini. Ia menunjukkan ada penurunan kemiskinan dan ada peningkatan akses kepada pendidikan. Jadi, saya ingin menyarankan agar peruntukan belanjawan yang lebih banyak dapat disalurkan kepada MITRA ini bagi meningkatkan pendayaupayaan ataupun empowerment dari kalangan komuniti India di seluruh negara di Malaysia.
Soalan saya. Berapa ramaikah penerima geran kewangan MITRA mengikut negeri setakat ini? Adakah pihak MITRA mengadakan roadshow secara berkala untuk memberikan penerangan geran kewangan MITRA dan tata cara permohonan dalam talian? Kalau turun Kapar, jangan lupa jemput saya. Lagi soalan saya juga kepada kerajaan. Adakah kerajaan telah menjalankan kajian terhadap tahap patriotisme dalam kalangan belia pelbagai etnik di seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak?
Tuan Yang di-Pertua, kita dukacita mendengar isteri Lans Koperal maut ditembak suaminya lebih lima das pagi semalam. Saya difahamkan PDRM mempunyai Bahagian Agama dan Kaunseling (BAKA). Kebanyakan pegawai dan ustaz adalah orang awam daripada JAKIM dan lagi perkhidmatan sosial. Soalan saya, adakah mampu pegawai awam hendak memberikan perkhidmatan dakwah dan kaunseling kepada satu pasukan rejimen beruniform? Bolehkah tidak?
Jadi, cadangan Kapar ialah untuk meningkatkan kualiti dan integriti PDRM, maka pegawai awam dari JAKIM yang di dalam BAKA diserapkan sebagai pegawai polis yang mempunyai kelulusan bidang agama dan kaunseling di BAKA pula seperti mana yang dilakukan oleh Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT).
Dr. Hajah Halimah Ali - Kapar
Ini mengenai Kapar, misi baharu Kapar Tuan Yang di-Pertua, izinkan saya. Kapar ada tiga batang sungai. Bayangkan itu, selain daripada pulau, persisiran pantai. Sungai Kapar Besar, Sungai Kapar Kecil dan Sungai Klang. Ini bermaksud Kapar mempunyai potensi besar menjadi pusat pelancongan, agrotourism dan pusat rekreasi remaja, belia dan warga metropolitan yang mahu mendekati alam. Ia juga boleh memupuk cinta kepada sungai dan mampu mengenal biodiversiti di samping mewujudkan spektrum pekerjaan yang luas bagi penduduk setempat terutama belia. Bidang ini haruslah diteroka oleh kerajaan sebagai satu usaha merancakkan ekonomi tempatan. Sedikit lagi Tuan Yang di- Pertua.
Peruntukan MARRIS perlulah ditambah kepada pejabat daerah sebab jalan-jalan di kampung ini, di luar bandar ini memerlukan peruntukan yang banyak. PBT tidak boleh, federal pula katakan bukan, dia kata bukan jalan Federal. Jadi, mintalah MARRIS diberikan kepada pejabat daerah.
Akhir sekali Tuan Yang di-Pertua, saya mendapatkan petua daripada Timbalan Yang di-Pertua semalam— kelmarin. Mengenai maklum balas pemberitahuan pertanyaan Dewan Rakyat, Mesyuarat Pertama, Penggal Kedua, Parlimen Kelima Belas. Pertanyaan perbahasan Titah Diraja daripada Dr. Hajah Halimah Ali, Kapar dan Yang Berhormat Sri Gading yang menjawab. Soalan yang saya terima ini Tuan Yang di-Pertua, kekhuatiran makanan yang dijenamakan di bawah Menu Rahmah untuk golongan B40 diperbuat daripada makanan berkualiti rendah dan penyediaannya tidak bersih.
Saya hendak nyatakan di sini untuk direkodkan Tuan Yang di-Pertua. Ini tidak benar. Bukan ini yang saya maksudkan. Saya mohon kepada pihak kerajaan kalau tidak dengar perbahasan sebab ramai yang tidak ada Tuan Yang di-Pertua, sekurang- kurangnya rujuklah kepada Hansard. Jangan di-subcon, minta maaf— kepada pegawai- pegawai.
Dr. Hajah Halimah Ali - Kapar
Satu lagi Tuan Yang di-Pertua, saya baru terima hari ini pula. Ini juga adalah pemakluman jawapan secara bertulis kepada soalan tambahan semasa Sesi Pertanyaan- pertanyaan Bagi Jawab Lisan pada 2 Mac, Khamis. Okey, saya rujuk sedikit Tuan Yang di-Pertua. Yang dituju betullah Yang Berhormat Dr. Hajah Halimah Ali, Ahli Parlimen Kapar tetapi...
Tuan Yang di-Pertua
Yang Berhormat Kapar, kalau Yang Berhormat Kapar...
Dr. Hajah Halimah Ali - Kapar
Yang ditulis di sini Tuan Yang di-Pertua ialah “Bersama ini dikemukakan jawapan Yang Berhormat berkenaan pertanyaan tambahan berkaitan senarai projek jalan perhubungan desa di kawasan Parlimen Papar...”. Bukan Kapar. Jadi, mohonlah...
Tuan Yang di-Pertua
Baik. Aturan Mesyuarat Yang Berhormat Kapar, kalau Yang Berhormat Kapar hendak perbetulkan, tulis kepada Tuan Yang di-Pertua. Tidak boleh buat lagu ini sebab ini ucapan peringkat bajet. Sila tulis kepada Tuan Yang di-Pertua untuk pembetulan. Terima kasih ya.
Dr. Hajah Halimah Ali - Kapar
Ye ke? Oleh sebab hari itu dapat petua daripada Tuan Yang di-Pertua untuk bawa di sini.
Tuan Yang di-Pertua
Baik, terima kasih.
Dr. Hajah Halimah Ali - Kapar
Jadi, terima kasih. Saya minta sangat Tuan Yang di-Pertua, mungkin saya ini yang alpa kali ini sampai dapat dua ini. Mintalah kepada kerajaan. Terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua
Baik, terima kasih. Saya jemput Yang Berhormat Sungai Buloh.
Dato’ Ramanan Ramakrishnan - Sungai Buloh
Terima kasih kepada Tuan Yang di-Pertua telah mengizinkan saya menyambut dan membahaskan Belanjawan Madani 2023 yang telah dibentangkan oleh Yang Amat Berhormat Tambun. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan takziah kepada mangsa-mangsa banjir.
Semoga segala urusan dipermudahkan.
Tuan Yang di-Pertua, secara dasar kita dapat lihat Yang Amat Berhormat Tambun memberi keutamaan kepada pengukuhan ekosistem, tata kelola pada semua peringkat bagi meningkatkan kepercayaan rakyat terhadap institusi negara. Justeru, perbahasan saya akan memberi fokus kepada persoalan komitmen dan kesungguhan setiap kementerian serta agensi kerajaan bagi memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara di samping menjamin kedudukan fiskal yang kukuh dan mampan.
Tuan Yang di-Pertua, sebelum saya melangkah lebih jauh izinkan saya menyampaikan serangkap pantun.
Sungguh indah bunga melati, Di bawah atap tepi halaman, Di Sungai Buloh kami menanti, Kehadiran Tambun melihat pembangunan. Tuan Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, saya akur dan tetap bersyukur dengan penyaluran dana kepada setiap Ahli Parlimen kerajaan walaupun jumlahnya telah dikurangkan. The political will dengan izin, sebagaimana ditegaskan oleh Yang Amat Berhormat Tambun sebagai satu intervensi dalam tadbir urus bagi memastikan sistem yang lebih telus. Oleh itu, adalah wajar bagi kementerian-kementerian dan agensi-agensi kerajaan untuk menjalankan amanat dengan baik dalam pengurusan peruntukan masing-masing.
Namun, saya khuatir sekiranya mesej pemahaman tadbir urus yang baik ini tidak sampai kepada rakyat. Now, the deliberation of a decision to develop a critical need for constituents is no longer solely the exercise of Parliamentarians’ discretion, dengan izin.
Dato’ Ramanan Ramakrishnan - Sungai Buloh
Saya berikan contoh, di kawasan Parlimen Sungai Buloh apabila satu aduan berkenaan isu trafik atau penyelenggaraan jalan raya yang telah dibuat, sering kali halangan pertama adalah dalam rujukan kepada bidang kuasa dahulu. Dalam Parlimen Sungai Buloh ada empat pihak berkuasa tempatan dan tiga pejabat daerah. Belum termasuk lagi bersempadan dengan Parlimen lain atau agensi kerajaan yang bertanggungjawab.
Tempoh respons setelah mengenal pasti bidang kuasa agensi kadangkala boleh mengakibatkan kesulitan lanjut kepada rakyat. Namun, saya percaya komitmen kerjasama dapat dilakukan secara optimum selagi komunikasi antara agensi-agensi kerajaan dan ahli politik lebih terbuka dengan azam yang sama iaitu telus dalam menjalankan amanat demi rakyat.
Jumlah kenderaan yang kian bertambah hanya akan menyumbang kepada kesesakan jalan raya. Permasalahan lazim from a lack of seamless traffic dengan izin, seperti jaringan jalan raya yang tidak lancar, bersama dengan sistem toll gate yang tidak mampan sering kali mengakibatkan kesesakan dan mengakibatkan kemudaratan kepada pengguna jalan raya. Penaiktarafan sistem tol bertaraf dunia adalah wajar dan bukan lagi sistem yang memanfaatkan kroni sama ada anak sendiri atau anak menantu.
Saya juga pernah bangkitkan mengenai penyelenggaraan jalan raya yang sering menjadi isu utama di Parlimen Sungai Buloh. Ia melibatkan keselamatan pengguna motosikal kerana jalan yang tidak diturap atau diselenggarakan dengan baik boleh mengakibatkan kecelakaan. Mereka yang bekerja sebagai rider Lalamove, Grab dan Foodpanda tidak cukup terpaksa mengharungi cabaran cuaca, kini perlu memikirkan keselamatan mereka, walhal ini adalah tanggungjawab kita sebagai kerajaan dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat madani. I believe the road maintenance must be proportionate to the volume of the car on the roads, dengan izin.
Tuan Yang di-Pertua, penyelesaian jangka masa panjang juga harus dibuat melalui satu perancangan sistem pengangkutan awam melibatkan KTM, LRT dan MRT.
Dalam Parlimen Sungai Buloh ada satu kawasan perumahan Saujana Utama yang jarak dengan stesen MRT agak jauh. Maka, tidak dapat dimanfaatkan oleh rakyat sepenuhnya.
Tuan Yang di-Pertua, seperti dalam soalan saya kepada Yang Berhormat Menteri Pengangkutan sebelum ini berkenaan first and last mile, dengan izin. Bagi pengguna pengangkutan awam, saya dimaklumkan terdapat inisiatif pilot bagi meringankan beban pengguna KTM, LRT dan MRT daripada segi kos sampingan apabila terpaksa menggunakan perkhidmatan e-hailing untuk balik ke rumah. Ini satu inisiatif yang baik memandangkan baru-baru ini melalui ciapan Twitter di akaun saya ada pengguna berkongsi rintihan sebagai rakyat Malaysia bahawa kita perlu memiliki kenderaan untuk menggunakan perkhidmatan tren bagi masalah first and last mile. Sering kali kita lihat baris-baris kenderaan di bahu jalan stesen-stesen kerana parkir tidak mencukupi ataupun bagi penjimatan kos parkir. We must go back to the drawing board on how to improve our public transportation system as a reasonable means for the madani society, dengan izin. Penghijrahan rakyat Malaysia ke Lembah Klang dalam mengejar peluang ekonomi harus diamati agar kita dapat memperbanyakkan peluang di koridor ekonomi baharu dalam negara.
Dato’ Ramanan Ramakrishnan - Sungai Buloh
Ini sekali gus dapat mengurangkan kepadatan penduduk dan memantapkan pertumbuhan ekonomi mengenai kod kesesuaian wilayah. In other words, taking advantage of our available labour force in other regions to broaden the nation’s economics spectrum while managing labour cost, dengan izin. Kita perlu melanjutkan misi masyarakat madani dengan mewujudkan koridor baharu melalui bandar-bandar satelit bagi mengimbangi dan membayangi potensi kemajuan wilayah utara, barat, timur dan selatan.
Dalam memajukan tamadun Malaysia Madani demi masa hadapan yang lebih egalitarian.
Rakyat Malaysia menyambut baik kehadiran pelabur-pelabur asing seperti diumumkan baru-baru ini.
Amazon yang akan menyuntik jumlah pelaburan sehingga RM25.5 bilion dalam tempoh 15 tahun melalui Amazon Web Services akan bakal melihat negara kita sebagai sebuah pusat pengumpulan pelan data dan hab digital. Peluang ekonomi di koridor-
Dato’ Ramanan Ramakrishnan - Sungai Buloh
koridor baharu sekali gus meluaskan ruang pembangunan di seluruh negara dan tidak bertumpu di Lembah Klang sahaja. Inisiatif seperti peneraju global Battery Electric Vehicles (BEV) yang diterajui MITI yang membawa syarikat gergasi TESLA ke negara juga mewujudkan ruang penempatan skill set dan membuka ruang pekerjaan bagi rakyat.
Kita harus lihat kehadiran nama-mana besar untuk melabur dan melatih tenaga kerja yang akan menambahkan keyakinan bagi menarik lebih pelabur di masa hadapan. Rakyat dan masyarakat luar dapat menilai sebuah kerajaan yang memiliki keabsahan dan kestabilan politik akan terus meyakinkan kemasukan pelabur asing demi pertumbuhan ekonomi.
Semoga juga satu hari nanti anak muda kita juga akan berasa gah dengan hanya barangan industri buatan Malaysia dan tidak lagi melihat barangan import sebagai simbol kemegahan. Sebelum saya mengakhiri perbahasan saya pada hari ini, Tuan Yang di- Pertua. Saya memanggil semua Ahli Yang Berhormat untuk menghayati pengertian amanat yang diberikan rakyat kepada kita. Tengku Abdul Rahman pernah berkata “We are all Malaysians, this is a bond that unites us. Let us always remember that unity is our fundamental strength as people and as a nation”, dengan izin. Kekuatan sebuah negara terletak kepada jalinan kesepakatan pemimpin.
Yang Berhormat Pengerang telah menyeru kita semua untuk bersama-sama menentang sebarang tindakan yang boleh menggugat kedaulatan kita. Sebagaimana sebuah kes Mahkamah Antarabangsa dengan pihak yang mendakwa sebagai pewaris Kesultanan Sulu. Kita harus noktah-kan kepada negara luar bahawa pendapat politik kita mungkin berbeza di dalam negara tetapi sebarang percubaan untuk menguji kita akan ditentang bersama seperti yang pernah disebut Yang Amat Berhormat Tambun untuk merapatkan saf demi perjuangan. Sesungguhnya sebuah masyarakat madani itu terbentuk di bawah satu nilai sejagat yang berpaksikan just an equitable rights of humanity, dengan izin. Dengan ini, saya menyokong Belanjawan Madani 2023 ini dengan sepenuhnya. Sekian, terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
[Tepuk]
Tuan Yang di-Pertua
Terima kasih Yang Berhormat Sungai Buloh. Saya jemput Yang Berhormat Kota Belud.
Puan Isnaraissah Munirah binti Majilis @ Fakharudy - Kota Belud
Terima kasih. Bismillahi Rahmani Rahim. Tuan Yang di-Pertua, pembentangan Belanjawan 2023 adalah sesuatu yang dinanti oleh Sabahan yang concerned dengan kesejahteraan bumi Sabah. Dinanti dengan debaran apakah akan ada indikasi atau pertunjuk sama ada MA63 dilaksana mengikut lunas-lunas asal terutama berkaitan dengan pembahagian atau pemulangan daripada hasil yang dipungut dari Sabah kepada Sabah.
Penantian itu sudah berakhir. Debaran bertukar menjadi keluhan kecewa signs of disappointment kerana selepas apa yang disebut-sebut, there was no indication or a special mention of MA63 put to effect after all. 60 tahun silam, para pemimpin Sabah seperti Tun Mustapha, Tun Fuad dan sahabat-sahabat seperjuangan sezaman mereka menandatangani dan memuktamadkan pembentukan Persekutuan Malaysia kerana diyakini dengan syarat-syarat yang terkandung seperti di dalam Perjanjian Malaysia, Artikel 112(c) dan Artikel 112(d). Walaupun Singapura terkeluar pada tahun 1965, Sabah kekal bersama atas keyakinan bahawa Persekutuan Malaysia-lah entiti yang terbaik.
Tuan Yang di-Pertua, pada 13 Julai 1976, beberapa Ahli Parlimen Sabah mengundi untuk menyokong pindaan Perlembagaan Persekutuan yang pada saya telah khilaf. Kesannya generasi baharu Sabahan tertinggal dalam arus pembangunan negara apabila fokus pembangunan lebih tertumpu di Semenanjung. Ini merugikan Sabah dan Sarawak, penyumbang terbesar pendapatan negara. Sabah’s MPs have been seen voicing the concerns of being left behind in national progress. The very least, saya boleh katakan setidak-tidaknya Perdana Menteri-10 shares our concern. Pada saya, tuntutan pelaksanaan ini tidak boleh ditangguh. Tidak boleh dilengah lagi.
[Tepuk] Tuan Yang di-Pertua, saya ingin menyentuh mengenai penggunaan sebahagian bayaran hasil petroleum ke Sabah dan Sarawak bagi program-program pembasmian kemiskinan. Sabah kekal peneraju nombor satu carta kemiskinan negara. Justeru, saya
Puan Isnaraissah Munirah binti Majilis @ Fakharudy - Kota Belud
menyokong penuh sebarang usaha yang dilakukan oleh Kerajaan Persekutuan mahupun kerajaan negeri untuk mengatasi masalah kemiskinan di Sabah. Namun Tuan Yang di- Pertua, terdapat beberapa persoalan yang perlu dijelaskan– Pertama, berapakah jumlah bayaran hasil petroleum yang akan digunakan bagi tujuan ini. Adakah separuh atau ada nisbah atau peratusan tertentu yang telah dipersetujui?
Kedua, berkenaan kaedah pelaksanaan. Saya tertanya-tanya apakah mekanisme yang akan diguna pakai? Apakah data yang akan digunakan?
Ketiga, apakah pelan perancangan kerajaan negeri untuk membasmi kemiskinan di setiap daerah Sabah; dan Keempat, adakah program ini akan dikekalkan pada tahun yang akan datang?
Kata-kata Yang Amat Berhormat Tambun yang paling saya ingati, “Anak Melayu, anak saya. Anak Cina, anak saya. Anak India, anak saya. Anak Iban, anak Kadazan, mereka semua anak saya.” [Tepuk] Memandangkan terdapat percanggahan ideologi kepartian di peringkat negeri Sabah, saya minta pada peringkat pelaksanaan program jangan ditanya apa parti yang dia sokong. Jangan ditengok siapa wakil rakyat dia sebab kemiskinan tidak melihat kepada parti politik.
[Tepuk] Saya mohon pemantauan dan jaminan Kerajaan Persekutuan bahawa hal ini tidak akan berlaku.
Tuan Yang di-Pertua, Mantanani adalah destinasi tarikan pelancong dari dalam dan luar negeri. Pelancongan juga lah adalah sumber ekonomi penduduk setempat.
Malangnya, Mantanani menjadi mangsa kepada perubahan iklim dan mengalami hakisan yang teruk. In another word, beautiful Mantanani is sinking. Saya mencadangkan agar tembok pemecah ombak dibina atau penambakan laut dilakukan.
Tuan Yang di-Pertua, saya menyambut baik komitmen Yang Amat Berhormat Perdana Menteri untuk menangani isu sekolah dan klinik daif terutamanya Sabah dan Sarawak. Baru-baru ini saya mengajukan soalan pembinaan Klinik Mantanani. Klinik Mantanani sudah dibangkitkan sejak tahun 2010 lagi. Malangnya, saya diberitahu tertakluk kepada keutamaan pelaksanaan dan ketersediaan peruntukan kerajaan. Untuk maklumat Tuan Yang di-Pertua, ibu-ibu mengandung beberapa minggu sebelum due date bersalin akan mengharungi Laut China Selatan bagi menempatkan diri di rumah saudara mereka di Kuala Abai ataupun Buah Pandai sebagai persediaan hari bersalin. Mantanani bukan sahaja pulau pelancongan *but nearby are all rigs that provide the development for Semenanjung.
[Timbalan Yang di-Pertua (Puan Alice Lau Kiong Yieng)* **mempengerusikan mesyuarat****] Why can’t the government reciprocate dengan memberi kelulusan segera sebuah klinik. Mantanani is not in the Philippines for goodness’ sake. Tuan Yang di-Pertua, padi dan getah merupakan sumber kehidupan bagi kebanyakan orang Kota Belud. Namun, harga getah sering jatuh ke paras RM2.30 per kilogram walhal harga barang yang berasaskan getah terus melambung. Tidak logik harga semurah itu harus diterima oleh pekebun getah kecil. Demikian juga, tanaman padi pada harga RM1.00 ke RM1.30 sekilogram tidak dapat menampung production cost.
Puan Isnaraissah Munirah binti Majilis @ Fakharudy - Kota Belud
Golongan inilah yang perlu diambil perhatian serius dan pembelaan. Saya cadangkan beberapa penambahbaikan yang diperlukan perhatian segera oleh kerajaan khususnya di Kota Belud. Antaranya, pertama penambahbaikan jalan ladang dan jalan sawah yang tidak sempurna. Kedua, isu pengairan sawah padi dan sistem perparitan yang menyebabkan hasil menjadi kurang.
Puan Isnaraissah Munirah binti Majilis @ Fakharudy - Kota Belud
Tuan Yang di-Pertua, saban tahun Sabah dan Sarawak didodoi angka peruntukan berbilion ringgit. Pada tahun ini Sabah dan Sarawak menerima RM6.5 bilion dan RM5.6 bilion ringgit untuk pembangunan. Akan tetapi saya ada data menunjukkan dari tahun 2013 sehingga tahun 2021, jumlah bilion tidak sempat dibelanjakan dipindah malah dipotong pada tahun semasa. Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, saya mohon amalan sebegini dihentikan. Just give us the equivalent of two-fifths ataupun 40 percent collected from Sabah. Apa yang telah disebut atau diputuskan di Parlimen tiada siapa sama ada penjawat awam atau Menteri pun punya hak untuk mengubah keputusan.
Tuan Yang di-Pertua, sebulan sebelum belanjawan ini di bentang saya telah pun mencadangkan beberapa perkara agar dilaksanakan oleh kerajaan. Antaranya pertama, memberikan setiap butiran yang melibatkan peruntukan projek kepada Sabah dan Sarawak bagi memudahkan pemantauan. Kedua, wujudkan tabung khas pembangunan Sabah dan Sarawak agar peruntukan tahunan semasa tidak dikitar semula ke tahun berikutnya. Ketiga, perbaiki dan kurangkan birokrasi di peringkat Persekutuan dan negeri.
Tuan Yang di-Pertua, tuntutan waris Kesultanan Sulu terhadap Sabah tidak menampakkan tanda-tanda berakhir. Pada penggal lepas, tiga kali saya telah menghantar usul agar perkara ini dibahas untuk mencapai satu pendirian para Ahli Parlimen reflective of the Malaysian Government tetapi malangnya ditolak. Mujur penggal ini Yang Berhormat Pengerang mengambil peranan proaktif bagi menangani perkara tersebut. Terima kasih Yang Berhormat Pengerang. Tuntutan tersebut tidak lebih dari satu cubaan mendapat financial gain oleh pihak yang mendakwa sebagai waris Kesultanan Sulu. Pun begitu tuntutan tersebut bukanlah perkara mudah untuk diselesaikan kerana ia melibatkan masalah diplomatik.
Saya rujuk Republic of The Philippines 85446, pindaan tahun 1968 dan tahun 2009 yang menyebut Sabah sebagai sebahagian daripada wilayahnya. Tuntutan tersebut mewujudkan situasi ekonomi yang tidak menentu, terutama keyakinan pelabur selain masalah kedaulatan negara. Penyelesaian tuntas dituntut once and for all. Saya berharap Yang Amat Berhormat Perdana Menteri ada membisikkan kepada Presiden Bongbong Marcos ketika melawat Filipina tempoh hari agar perkara Sabah ini diambil perhatian serius demi keamanan dan kemakmuran serantau.
Sebagai penutup. Dear Sabahans, Sabah mempunyai segalanya untuk kemajuan. Malangnya kita Sabahans lebih rela orang lain atur daripada kita atur sendiri.
Sikap toleran dan kesatuan kita semakin terhakis. We are so divided politically. Tanpa sedar, kita jadi bahan ketawa orang lain, senang di laga-lagakan. Berhentilah kita jadi Dusun yang senang disusun, Bajau yang senang dikacau, Orang Sungai yang senang hanyut dan Murut yang senang diurut. Cukuplah kita dikasi sabung-sabung, dikasi pecah- pecah. Kita jadi mangsa politik divide and rule dan masih juga kita tidak sedar-sedar.
Berhentilah kita dicop menjadi YB yang kaya-raya tetapi rakyatnya miskin. Berhentilah kita berfikiran bahawa that a YB *leads the stairway to heaven.
[Tepuk] .* Ini masa kita untuk berdiri dan bangunkan wilayah Sabah. Anak-anak muda Sabahan kena bangkit bersama menggalas tanggungjawab, mengangkat martabat Sabah. I stand here before you, not just as Yang Berhormat Ahli Parlimen but I stand here before you as Isnaraissah Munirah Majilis anak Kota Belud, anak Sabah yang cintakan negara saya Malaysia. We were equal in the beginning and we must reinstate equality again to exist as Malaysia. Sekian, terima kasih.
[Tepuk] .
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Saya jemput Yang Berhormat Langkawi.
Dato’ Haji Mohd Suhaimi bin Haji Abdullah - Langkawi
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Saya pun nak ikut Yang Berhormat Kota Belud juga. Saya Kedah mempertahankan*.
[Tepuk] .* Saya tidak tahu apa yang saya mempertahankan.
Dato’ Haji Mohd Suhaimi bin Haji Abdullah - Langkawi
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Dalam perbahasan yang lepas saya dikutuk oleh orang-orang Langkawi kerana mereka kata cerita mengarut-ngarut. Tidak bawa isu Langkawi. Jadi, hari ini saya nak tumpukan kepada isu Langkawi. Terlebih dahulu saya nak mengucapkan ribuan terima kasih kepada para MP yang masih ada di Dewan dan saya ingin menjemput tuan-tuan dan puan-puan ke Pulau Langkawi, satu pulau lagenda...
Seorang Ahli
[Berucap tanpa menggunakan pembesar suara]
Dato’ Haji Mohd Suhaimi bin Haji Abdullah - Langkawi
Tiga minit, Tuan Yang di-Pertua. Pulau Langkawi ini banyak tempat melawat dan makan. Kalau ke Pulau Langkawi carilah Kak Yan Nasi Campur, carilah Nasi Dagang Pak Malau, carilah Halim Gulai Pedas dan kalau boleh jangan lupa kuih peneram. Kalau ke Langkawi jangan lupa Pantai Cenang. Kalau kita ke laut kadang-kadang kita boleh tengok dolphin, kadang- kadang kita boleh tengok dugong putih pakai seluar sahaja.
[Ketawa] Tuan-tuan dan puan-puan, saya nak bercakap soal insinerator di Pulau Langkawi yang menjadi isu besar yang telah pun di-award atau ditawarkan kepada syarikat dari Korea oleh pemerintahan Barisan Nasional pada ketika itu. Sebanyak RM200 juta telah diperuntukkan. Tidak berjalan. Dijangka siap tahun 2017, tidak siap juga. Tahun 2019, Yang Berhormat Zuraida selaku Menteri melawat, dia kata “Saya bagi jaminan tahun 2019 akan berfungsi,”. Betul seperti mana yang dijanjikan, dia berfungsi selama lima hari.
Cuma saya sedih. Itinerari Menteri KPKT hari ini tidak pergi tengok insinerator.
Saya dimaklumkan bahawa beliau ada di sana dan saya dijemput. Akan tetapi oleh sebab saya nak berbahas hari ini, maka saya tidak ada di Langkawi. Saya tengok itinerari dan saya tahu rakan-rakan di Langkawi lebih-lebih lagi pejabat daerah, majlis dan sebagainya nak sangat Menteri pergi tengok sebab sekarang ini sampah sudah sampai ke bumbung.
UNESCO telah memberi lima bulan. Kalau tidak berlaku apa-apa, maka Geopark akan ditarik balik statusnya.
Jadi, saya nak minta sangat-sangat. Apakah kerajaan akan membiarkan begitu?
Tidak apalah Menteri tidak nak pergi ,mungkin dia ada tempat-tempat lain dia nak pergi khusus. Kita maafkan beliau. Akan tetapi kita tidak boleh maaf kalau perkara ini ditinggalkan begitu saja. Jadi, saya minta Kerajaan Madani hendaklah bertanggungjawab kerana inilah satu-satunya tempat yang paling kotor di Langkawi. Inilah tempat membiaknya anjing liar. Membiaknya kera-kera yang terlalu banyak sekarang di Pulau Langkawi. Oleh sebab itu sampah bertaburan di merata. Manusia buang sampah, kera ambil sampah tabur di atas jalan. Manusia tidak terjaga sampah-sampah ini.
Tuan-tuan dan puan-puan, saya nak menyeru kepada sesiapa sahaja yang berminat sangat dengan nak membela anjing, sila ke Pulau Langkawi. Saya nak mengucap tahniah kepada Yang Dipertua Majlis Langkawi, beliau telah pun membuat kandang-kandang untuk menjaga anjing-anjing ini. Anjing ini akan ditangkap, akan dikasi supaya pembiakan tapi tidak akan dibunuh kerana animal lovers yang begitu kuat di Langkawi.
Jadi, saya minta kerajaan kalau boleh berikan peruntukan kepada majlis untuk kita buat sangkar yang lebih banyak. Kalau ada bapa angkat-bapa angkat anjing ini, datanglah ke Pulau Langkawi, ambillah anjing-anjing yang cantik, gebu dan cukup-cukup jinak ini.
Dato’ Haji Mohd Suhaimi bin Haji Abdullah - Langkawi
Ahli-ahli Yang Berhormat, saya hendak maklumkan seorang lagi Menteri yang pergi iaitu Yang Berhormat Datuk Seri Reezal Merican. Dia pergi, dia tengok, dia kata, “Okey, selepas ini 1,100 tan metrik sehari waste-to-energy”. Akan tetapi, sampai dia kalah pilihan raya, duk macam itu jugalah, tidak bergerak.
Ahli-ahli Yang Berhormat, saya hendak mintalah supaya janganlah UNESCO menarik balik status Geopark tersebut. Cuma, saya hendak pergi terus kepada soalan kepada Menteri, apakah perancangan KPKT dalam menyelesaikan masalah insinerator di Langkawi ini?
Kedua, apakah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya akan bekerjasama dengan KPKT untuk menyelamatkan daripada UNESCO mengambil tindakan menarik
Dato’ Haji Mohd Suhaimi bin Haji Abdullah - Langkawi
balik status Kilim Geoforest Park? Saya tengok Yang Berhormat Timbalan Menteri ada, sahabat bapa saya. Bapa dia bapa kawan saya.
[Dewan ketawa]
Dato’ Haji Mohd Suhaimi bin Haji Abdullah - Langkawi
Ketiga, pencemaran udara khususnya – Oh, yang ini bau tidak tahan. Lebih-lebih lagi sebelah petang, Tuan Yang di-Pertua. Sebelah petang, jangan jalan ikut situ. Boleh terberak dan boleh termuntah...
[Dewan ketawa]
Dato’ Haji Mohd Suhaimi bin Haji Abdullah - Langkawi
dan orang tempatan termasuk tourists, pelancong yang lalu ikut situ, memang akan berpatah balik walaupun dalam kereta.
Isu yang kedua yang hendak saya bangkitkan ialah tidak ada satu koordinasi antara kementerian-kementerian. Saya ambil satu contoh jalan ke airport ini – LIMA hendak datang ini. LIMA hendak datang, jalan hendak pergi ke airport kalau Ahli-ahli Yang Berhormat perasan di situ ada jual laksa di tepi pantai. Di jalan itu sekarang ada hoarding, Bina Darulaman yang menutup dengan zink yang tinggi. Jalan itu lebih kurang 10 meter.
Sekarang ini kalau Ahli-ahli Yang Berhormat jalan ikut jalan itu, lebih kurang tiga meter, empat meter, rumput tidak ada. Licin dan bersih. Selepas itu ada rumput dan selepas itu rumput jadi panjang lagi, dinding.
Saya bertanya, kenapakah jadi begitu? Rupa-rupanya yang lima meter awal itu majlis punya. Jadi, mereka potong rumput setakat lima meter sahajalah. Rumput yang lebih itu dibiarkan. Mereka kata ini pejabat daerah punya. Pejabat daerah kata bukan mereka punya, JKR punya. Jadi, JKR tidak buat, tinggal majlis sahaja yang buat. Jadi, lebih kurang satu kaki setengah yang majlis buat, yang lain rumputnya tinggi. LIMA hendak datang. Jadi saya bertanya, kenapakah jadi begitu? Jadi saya minta, JKR supaya kaji betul-betul, lihat betul-betul tanggungjawab siapa dengan rumput-rampai ini.
Puan Teresa Kok Suh Sim - Seputeh
Yang Berhormat, boleh saya tolong? Ini isu harus dibawa di bawah DUN ya, yang Yang Amat Berhormat Menteri Besar Kedah memang kuat berucap. Jadi, minta dia tolong.
Dato’ Haji Mohd Suhaimi bin Haji Abdullah - Langkawi
Kemudian saya hendak sentuh – Saya tidak beri laluan pun.
Saya hendak sentuh tiga autoriti yang penting di Langkawi. Satu pejabat daerah, satu LADA dan satu majlis. Saya hendak ucapkan kepada Yang Dipertua sekali lagi. Suatu hari beliau membawa ahli majlis naik bas, jalan. Apabila beliau melihat rumput yang berlaku seperti mana yang saya ceritakan tadi, maka beliau memanggil orang-orang kampung membuat gotong-royong. Saya hendak ucapkan tahniah kepada Yang Dipertua Majlis Perbandaran Langkawi.
Cuma yang membimbangkan saya ialah apabila Yang Amat Berhormat Perdana Menteri mengumumkan semua orang politik letak jawatan termasuk saya selaku Pengerusi LADA dan rakan-rakan yang lain, semua di sebelah sana dan juga di sebelah sini. Kita semua tinggalkan jawatan-jawatan kita. Akan tetapi yang sedihnya, sehingga sekarang tidak diisi. Bayangkan sekarang bulan Mac, bulan April, bulan Mei, LIMA. Bulan Mei, sudah LIMA. Jadi CEO-nya juga dipindah, CEO LADA. Bayangkan sekarang LADA hendak menghadapi LIMA dengan tidak ada CEO dan juga Chairman.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Sila gulung.
Dato’ Haji Mohd Suhaimi bin Haji Abdullah - Langkawi
Saya minta Yang Berhormat Mat Sabu ada sini, tolong peringat kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri supaya melantiklah. Lantiklah siapa hendak dilantik pun, tetapi soal LIMA kita hendak selesaikan.
Satu lagi, tax. Langkawi ini dahulu banyak tax. Orang pergi kerana hendak beli kain batik dan kerana hendak beli rokok. Tidak hisap rokok pun, dia sahaja seronok hendak beli fasal dia pergi Langkawi, itulah attraction yang ada. Apabila kerajaan tarik balik, dia tidak pergi; kerana sekarton rokok itu dia tidak pergi sudah. Kadang-kadang dia belilah kain batik dua hingga tiga helai, hendak bagi kepada kawan-kawan, hendak mengatakan dia pergi Pulau Langkawi. Itu the main attraction-nya. Akan tetapi apabila kerajaan tarik balik, habislah.
Apa yang ada sekarang tinggal arak, minuman keras. Siapakah yang hendak pi minum minuman keras di situ? Adalah dua, tiga orang putih ada di situ yang saya duk tengok minum setiap petang itu. Akan tetapi, orang-orang kita yang local tourism ini, ia
Dato’ Haji Mohd Suhaimi bin Haji Abdullah - Langkawi
tidak ada manfaat langsung, tidak ada faedah langsung. Jadi, saya minta kerajaan mengkaji semula, bagilah statusnya macam dulu supaya ramai orang pergi ke Langkawi, bukan tujuan itu sangat tetapi salah satu attraction kepada mereka.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Masa sudah tamat.
Dato’ Haji Mohd Suhaimi bin Haji Abdullah - Langkawi
Habis sudah? Satu lagi...
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Masa sudah tamat.
Dato’ Haji Mohd Suhaimi bin Haji Abdullah - Langkawi
Terima kasih, Tuan Yang di-Pertua. Comel betul.
[Dewan ketawa]
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Saya jemput Yang Berhormat Raub.
Tuan Chow Yu Hui - Raub
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Ada beberapa isu yang saya hendak bangkitkan hari ini. Kita selalu berkata bahawa anak muda ialah pemangkin masa depan negara. Namun hakikatnya, negara kita kurang memberi peluang dan sokongan kepada mereka. Anak muda kita terutamanya mahasiswa dan mahasiswi universiti masih mendepani banyak kekangan dan juga penindasan. Saya faham bahawa Kementerian Pendidikan Tinggi telah menegaskan agenda utama kementerian pada tahun ini berkali-kali dalam ucapan tahun baharu dan jawapan lisan di Parlimen bahawa kementerian berhasrat untuk memperkasa pelajar dengan memberi lebih autonomi dalam kegiatan berpersatuan.
Yang Berhormat Menteri juga berjanji bahawa gerakan mahasiswa dan students’ union mesti diberikan kebebasan dan kuasa yang bersesuaian termasuk kuasa menguruskan kewangan dan perniagaan berasaskan perkhidmatan dalam kampus universiti. Manakala, kerajaan mesti tahu kita tidak dapat memperkasakan hak mahasiswa dan mahasiswi sekiranya AUKU tidak boleh dimansuhkan dan diganti oleh akta yang baharu. Jangan kita mudah lupa sejarah kita.
AUKU telah digubal semasa era gerakan pelajar yang berfikiran kritis dan berjiwa kuat pada tahun 70-an di Malaysia. Pada masa itu, kesedaran politik dan sosial pelajar universiti amat tinggi. Malah, mereka berani menyuarakan kritikan mereka terhadap pihak berkuasa. Tujuan kerajaan pada zaman 70-an menggubal AUKU adalah jelas. Seksyen 15 dan 16 dalam AUKU digunakan untuk merampas kuasa autonomi mahasiswa dan mahasiswi termasuk melarang mahasiswa mengurus dan mempunyai autonomi kewangan serta menekan hak dan kebebasan bersuara mahasiswa bagi memelihara kuasa dan legitimasi kerajaan. Selain itu, organisasi pelajar juga perlu memohon kelulusan aktiviti melalui Hal Ehwal Pelajar iaitu HEP yang bersifat birokratik malah tidak kompeten. Campur tangan yang tidak munasabah ini seterusnya menyekat inovasi dan kreativiti pelajar.
Tuan Yang di-Pertua, sekiranya kerajaan ingin mengembalikan kuasa autonomi kepada mahasiswa dan mahasiswi dalam kampus universiti, marilah kita mesti memansuhkan AUKU dengan sepenuhnya.
Tuan Yang di-Pertua, melalui peruntukan untuk setiap universiti, kita harus melibatkan pemberian peruntukan tahunan kepada students’ union iaitu kesatuan mahasiswa serta organisasi-organisasi mahasiswa. Saya juga cadangkan untuk mansuhkan HEP dan memulangkan kuasa pentadbiran kampus kepada students’ union.
Hal ini akan memperkasakan mahasiswa malah membantu universiti untuk menjimatkan kos tadbir urus dan merealisasikan campus democracy and students’ autonomy. Dengan izin dalam bahasa Cina, [Berucap dalam bahasa Cina] .
Tuan Chow Yu Hui - Raub
Tuan Yang di-Pertua, isu yang kedua yang saya hendak bangkitkan adalah dasar agromakanan. Dalam kawasan Parlimen Raub, semakin lebih ramai pemuda dan pemudi
Tuan Chow Yu Hui - Raub
memilih untuk pulang ke kampung halaman dan terlibat dalam sektor pertanian khususnya dalam industri durian. Trend ini secara langsung menyediakan peluang pekerjaan baharu, meningkatkan pertumbuhan ekonomi tempatan dan yang lebih penting, membawa pengenalan inovasi dan teknologi terkini yang dapat memajukan sektor komoditi agromakanan secara mampan.
Situasi ini amat menggalakkan selaras dengan hala tuju bajet tahunan ini terutamanya hasil yang diinginkan bagi industri agromakanan dan keusahawanan petani iaitu industri pertanian bernilai tinggi yang mampan serta agropreneur berdaya saing.
Namun demikian, antara cabaran yang besar bagi industri agromakanan ini adalah kekurangan tanah yang menghalang rakyat Malaysia daripada terus mencurahkan masa dan tenaga sepenuhnya dalam industri agromakanan ini.
Yang Berhormat Menteri Ekonomi pernah mengumumkan rancangan kerajaan untuk membuka 800 ekar tanah bagi tujuan pengusahaan tanaman. Saya bersikap terbuka terhadap rancangan ini kerana ia dapat mengatasi kekangan tanah dan isu perebutan tanah yang menghalang kemajuan sektor agromakanan.
Namun, tanah seluas 800 ekar jauh tidak mencukupi untuk menyelesaikan isu-isu tersebut. Sebagai contoh, jika setiap isi rumah diberikan dua ekar tanah, hanya 400 isi rumah sahaja yang mendapat tanah. Saya memahami bahawa hal ini disebabkan oleh fakta bahawa Kerajaan Persekutuan tidak mempunyai bidang kuasa untuk memberi milikan tanah.
Oleh itu, sebagai cadangan, Kerajaan Persekutuan boleh berunding dengan kerajaan negeri masing-masing dan memajak tanah daripada kerajaan negeri.
Seterusnya, Kerajaan Persekutuan memajak tanah tersebut kepada pemuda dan pemudi ataupun keluarga yang memerlukan. Kerajaan Persekutuan, melalui langkah ini, boleh membantu menyelesaikan kemelut pekebun tanpa geran yang wujud sejak beberapa dekad dahulu bukan sahaja di Raub tetapi di kawasan lain seperti Perak dan juga Cameron Highlands.
Faktor sejarah dan geografi telah menyebabkan kebanyakan petani tidak mempunyai geran atau permit daripada kerajaan negeri meskipun tanaman mereka seperti durian, pisang, sayur-sayuran, buah pomelo dan lain-lain telah membuahkan hasil yang banyak dan berkualiti. Dengan langkah ini, Kerajaan Persekutuan juga boleh menjana pendapatan melalui cukai tanah ataupun levi tanah pajakan. Golongan pekebun juga boleh menanam dengan hati yang tenang dan lega. Ini juga akan memastikan pendapatan yang stabil bagi mereka dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi tempatan serta peningkatan dalam eksport yang selaras dengan matlamat FAMA.
Setiap kerajaan negeri mempunyai polisi tanah yang berbeza menyebabkan kemajuan pertanian di setiap negeri tidak seragam. Melalui langkah ini, Kerajaan Persekutuan dapat merapatkan jurang antara kemajuan pertanian di setiap negeri dan menetapkan polisi pertanian yang seragam di seluruh negara. Kerajaan Persekutuan juga dapat memajak tanah kepada pemuda dan pemudi yang berminat untuk memulakan perniagaan dalam bidang pertanian. Dengan tanah yang luas, mereka dapat menjana pendapatan yang lebih stabil dan lebih untung berbanding dengan bekerja dalam sektor private. Ini juga dapat menggalakkan pemuda dan pemudi untuk terlibat dalam bidang pertanian dan menyumbangkan usaha untuk sektor agromakanan ini.
Isu yang ketiga yang saya hendak bangkitkan adalah peruntukan yang sama rata.
Tugas Ahli Parlimen sangat berat termasuk penggubalan undang-undang, penelitian serta perbahasan dasar-dasar. Bagi melaksanakan tugasan ini, Ahli Parlimen memerlukan ramai staf dan pegawai. Kita perlu memastikan mereka mendapat gaji yang cukup, barulah mereka mampu memberi perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat dan negara.
Malangnya, dalam Belanjawan 2023 ini, kami nampak Ahli Parlimen pembangkang tidak diberikan peruntukan untuk perbelanjaan operasi pusat khidmat di kawasan masing-masing. Kebanyakan Ahli Parlimen kerajaan pernah menjadi Ahli Parlimen pembangkang. Kami memang memahami sekiranya Ahli Parlimen pembangkang tidak dapat resources yang mencukupi, ini akan menjadikan satu beban
Tuan Chow Yu Hui - Raub
yang besar untuk menjalankan tugas mereka. Hal ini, secara tidak langsung menjejaskan sistem demokrasi berparlimen negara kita.
Izinkan saya mencadangkan peruntukan pengurusan pusat khidmat yang sama rata bagi Ahli Parlimen kerajaan mahupun pembangkang.
[Tepuk] Kerajaan boleh memperuntukkan pengurusan pusat khidmat yang sama rata ke dalam rang undang- undang Akta Perkhidmatan Parlimen. Kami boleh mengambil iktibar daripada parliamentary asing. Sebagai contohnya, Parlimen UK menggubal Parliamentary Standards Act 2009 yang menubuhkan Independent Parliamentary Standards Authority di mana badan ini berperanan untuk menetapkan dan membayar elaun Ahli Parlimen termasuk gaji-gaji pegawai dan juga intern.
Tuan Afnan Hamimi bin Taib Azamudden - Alor Setar
Yang Berhormat Raub.
Tuan Chow Yu Hui - Raub
Selain itu....
Tuan Afnan Hamimi bin Taib Azamudden - Alor Setar
Yang Berhormat Raub.
Tuan Chow Yu Hui - Raub
...Parlimen Victoria...
Tuan Afnan Hamimi bin Taib Azamudden - Alor Setar
10 saat, 10 saat sahaja.
Tuan Chow Yu Hui - Raub
Silakan.
Tuan Afnan Hamimi bin Taib Azamudden - Alor Setar
Adakah Yang Berhormat Raub sedar ADUN pembangkang di Kedah juga diberikan peruntukan mengurus pusat khidmat oleh Kerajaan Negeri Kedah sekarang? Adakah Yang Berhormat sedar? Terima kasih.
Tuan Chow Yu Hui - Raub
Jika memang ada, ini satu langkah yang betul.
[Tepuk] Selain itu, Parlimen Victoria di Australia juga menubuhkan tribunal yang menggariskan cara pengiraan belanjawan pejabat Ahli Parlimen di mana bajet ditetapkan mengikut bilangan pengundi tetapi bukan berdasarkan parti-parti pembangkang ataupun kerajaan.
Tuan Yang di-Pertua, akhirnya saya hendak tegaskan di sini, kita faham bahawa pemulihan ekonomi adalah agenda yang utama bagi Kerajaan Perpaduan ini. Walau bagaimanapun, saya menekankan bahawa agenda pemulihan ekonomi dan reformasi institut tidak berkonflik dan boleh dijalankan dengan serentak.
Kami mungkin boleh tahan sehingga ekonomi bertambah baik. Kami ikat perut, bantu sesama sendiri, memberi sumbangan kepada mereka yang memerlukan. Akan tetapi, kembalikan hak kebebasan dan autonomi pelajar universiti yang terikat oleh AUKU tidak boleh ditangguh lagi. Mangsa yang ditahan di bawah SOSMA, POTA dan POCA tanpa bicara tidak boleh menunggu. Hak mereka sedang terancam setiap saat dan *justice delayed is justice denied.
[Tepuk]* Kerajaan baharu perlu menunjukkan komitmen yang tegas untuk reformasi institut untuk memenuhi harapan rakyat terhadap kerajaan baharu ini. Jangan biarkan kekecewaan menggantikan keyakinan rakyat. Kerajaan perlu mempercepatkan langkah reformasi untuk mewujudkan Malaysia yang lebih adil, saksama dan bebas daripada penindasan. Inilah Malaysia baharu yang kita ingin realisasikan. Inilah misi utama generasi kami. Jangan lepaskan peluang keemasan ini untuk membuat perubahan demi generasi yang akan datang.
Sekian, terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Saya jemput Yang Berhormat Tangga Batu.
Tuan Haji Bakri bin Jamaluddin - Tangga Batu
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Tuan Yang di-Pertua, Tangga Batu mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan takziah kepada mangsa-mangsa banjir yang berada di Johor.
Tuan Haji Bakri bin Jamaluddin - Tangga Batu
Tangga Batu merakamkan ucapan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Tambun selaku Perdana Menteri dan Menteri Kewangan kerana telah memperuntukkan sejumlah RM700 juta untuk Hospital Melaka bagi pembinaan blok baharu berkapasiti 476 buah katil bagi mengurangkan kesesakan yang berlaku di hospital ini.
Tangga Batu ingin menarik perhatian Ahli-ahli Yang Berhormat khususnya Menteri Kesihatan bahawa selama ini kita hanya menumpukan perhatian kepada kekurangan doktor perubatan dan jururawat. Namun, kita tidak memberikan perhatian kepada profesion fisioterapi. Peranan mereka sangat penting dalam membantu pesakit- pesakit strok terutamanya jika melibatkan pencari nafkah utama keluarga daripada fasa acute, dengan izin, hinggalah ke fasa kronik rawatan.
Walaupun KKM mempunyai program Perkhidmatan Perawatan Domisiliari (PPD) iaitu rawatan holistik di rumah yang diberikan kepada pesakit stabil yang terlantar dan memerlukan kesinambungan penjagaan serta perawatan setelah discharge dari hospital kerajaan tetapi akses intensiti dan kadar outreach, dengan izin, yang terhad dan mungkin di sesetengah tempat tiada langsung terutama rawatan fisioterapi disebabkan bilangan fisioterapi yang terhad. Di Pusat Kesihatan Sungai Udang umpamanya, hanya mempunyai seorang sahaja ahli fisioterapi yang melayani 43,000 orang penduduk.
WHO menyarankan bahawa nisbah ideal fisioterapi ialah satu berbanding 2,000 orang penduduk. Negara Norway, Jerman dan Belgium telah mencapai nisbah 1:500.
UK, Australia dan New Zealand telah mencapai nisbah 1:1,000 orang penduduk. Jiran kita Singapura, 1:2,800 dan Thailand, 1:4,600.
Negara kita mempunyai sekitar 4,500 orang ahli fisioterapi yang aktif yang berkhidmat di bawah KKM, hospital swasta atau memiliki klinik fisioterapi persendirian.
Jika dinisbahkan kepada jumlah penduduk Malaysia seramai 32.9 juta orang, bermaksud nisbahnya ialah 1:7,300. Kalau diambil kira daripada bilangan ahli fisioterapi seramai 1,956 yang berkhidmat dengan Kementerian Kesihatan, nisbahnya sangat kritikal iaitu 1:16,000. Jadi bagaimana hendak memberikan perkhidmatan yang baik dan efisien? Kita berharap Kementerian Kesihatan dapat melihat isu ini dengan secara serius.
Tuan Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, ‘Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul’.
Tuan Haji Bakri bin Jamaluddin - Tangga Batu
Bak kata pepatah, ‘sakit sama mengaduh, luka sama menyiuk’. Tangga Batu mengucapkan terima kasih kepada kerajaan yang bertekad untuk menoktahkan miskin tegar kepada sifar pada tahun 2023. Namun begitu, dalam keghairahan ini kita tidak boleh melupakan sebahagian daripada masyarakat kita iaitu veteran tentera yang pernah berjuang mempertahankan negara dan menjadi benteng kepada pertahanan dan keselamatan negara. Selama 41 tahun negara dibelenggu dengan ancaman komunis dan merekalah yang berada di barisan depan, merekalah yang putus kakinya, merekalah yang hilang matanya, cedera anggota tubuh demi mempertahankan kedaulatan negara.
Saya mengajak Ahli-ahli Yang Berhormat mengimbau peristiwa Gubir yang berlaku pada tahun 1976 di mana 11 orang anggota tentera terkorban dan sebuah helikopter Nuri telah ditembak jatuh. Ada di antara yang terselamat mengalami kecederaan anggota kekal dan masih hidup sehingga hari ini.
Seperti yang disuarakan oleh Yang Berhormat Larut sebagai ketua pembangkang begitu juga Sri Aman, Jerantut, Lumut dan Ketereh, maka Tangga Batu berdiri di sini untuk menyatakan sokongan kepada perjuangan veteran angkatan tentera untuk mendapatkan:
(i) pelarasan pencen veteran angkatan tentera yang bersara sebelum 1 Januari 2013 seramai 78,000 orang ataupun 59.13 percent daripada ahli veteran tentera;
(ii) menambah baik kadar pencen hilang upaya seramai 1,798 orang ahli veteran; dan
(iii) bantuan sara hidup berterusan kepada warga veteran tidak berpencen yang berusia 60 tahun ke atas.
Tuan Haji Bakri bin Jamaluddin - Tangga Batu
Kita menyambut baik hasrat kementerian untuk menambah bilangan penerima BSH seramai 6,000 orang lagi kepada 15,000 orang penerima. Akan tetapi ia masih jauh di bawah ke timbang jumlah ahli veteran tentera seramai 160,000 orang dan 78,000 ahli yang bersara sebelum 1 Januari 2013. Kita menghargai niat baik kerajaan untuk memberikan bantuan serta pelatihan dan sebagainya kepada pelarian Rohingya. Namun, akan lebih baik dan menjadi lebih bijak sekiranya keutamaan diberikan kepada rakyat sendiri terutamanya mereka yang pernah berjasa kepada negara dan tanah air.
Tuan Mohd Sany bin Hamzan - Hulu Langat
Tangga Batu boleh sikit Yang Berhormat Tangga Batu?
Tuan Haji Bakri bin Jamaluddin - Tangga Batu
Saya banyak hendak bicara.
Tuan Yang di-Pertua...
Tuan Mohd Sany bin Hamzan - Hulu Langat
Oleh sebab saya dengar tadi Yang Berhormat Tangga Batu bersemangat sebab saya pun jadi semangat juga.
Tuan Haji Bakri bin Jamaluddin - Tangga Batu
Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Sanitari Sungai Udang boleh dianggap kritikal...
Tuan Mohd Sany bin Hamzan - Hulu Langat
Yang Berhormat Tangga Batu tidak bolehkah Yang Berhormat Tangga Batu?
Tuan Haji Bakri bin Jamaluddin - Tangga Batu
...Memandangkan ia merupakan satu-satunya lokasi pembuangan sisa pepejal dari tiga daerah di negeri Melaka.
Tuan Mohd Sany bin Hamzan - Hulu Langat
Tangga kayulah jawabnya.
Tuan Haji Bakri bin Jamaluddin - Tangga Batu
Terkini, tapak pelupusan berkeluasan kira-kira 26 hektar itu sudah memasuki fasa ketiga iaitu fasa terakhir yang sepatutnya berakhir pada tahun 2024. Jumlah sampah dan sisa pepejal yang diterima sebanyak 1,040 tan sebulan melebihi kemampuan pusat pelupusan berkapasiti hanya 900 tan sebulan sahaja.
Begitu juga loji pemprosesan leachate berkapasiti 320 meter padu sahaja berbanding dengan volume yang ada sekitar 400 meter padu. Kolam penampungan leachate sedalam 15 meter kini hampir penuh. Risiko pencemaran leachate kepada anak sungai dan sungai adalah tinggi dan pernah terjadi kebocoran leachate hingga mencemarkan sungai yang menjadi sumber air utama kepada pesawah padi dan pekebun sayur di sekitar Paya Rumput, Bukit Rambai sehingga ke Sungai Lereh. Penduduk setempat juga sering menghadapi gangguan bau yang tidak menyenangkan. Sepatutnya tapak pelupusan ini berada sejauh satu kilometer dari kawasan penempatan penduduk, namun realitinya ia berada sekitar 600 hingga 800 meter sahaja dari kawasan penempatan penduduk terdekat.
Seperti yang dilaporkan, walaupun kerajaan mempunyai perancangan untuk membangunkan insinerator pada tahun 2026 tetapi dengan jumlah sampah yang tinggi dan tapak pelupusan ini hanya mampu menampung sehingga 2024 sahaja, maka saya menyeru agar KPKT dapat mengambil tindakan pantas untuk menyelesaikan masalah kritikal yang berlaku di Sungai Udang.
Tuan Yang di-Pertua, Pantai Puteri pernah termasuk lima lokasi utama yang dikunjungi oleh pelancong domestik. Namun, statistik terbaru menunjukkan bahawa bermula dari tahun 2018, Pantai Puteri telah terkeluar daripada senarai ini. Daripada aduan masyarakat yang kami terima, bilangan pengunjung sejak kebelakangan ini berkurangan disebabkan beberapa faktor antaranya penebangan pokok pelindung setelah berlakunya insiden pokok tumbang yang mengorbankan nyawa dan mengancam keselamatan pengunjung.
Kedua, hakisan pantai yang membimbangkan yang juga turut menyumbang kepada tumbangnya pokok-pokok yang ditanam di sepanjang Pantai Puteri. Fasiliti yang ada tidak mampu menampung bilangan pengunjung yang ada. Saya berharap Kementerian Pelancongan dan KPKT dapat memperuntukkan dana serta membantu membaik pulih, menambah fasiliti dan menaikkan taraf kemudahan untuk peniaga-
Tuan Haji Bakri bin Jamaluddin - Tangga Batu
peniaga kecil supaya mereka lebih produktif menjana pendapatan serta keselesaan pengunjung agar Pantai Puteri akan kembali menjadi tempat tumpuan pelancong domestik.
Tuan Yang di-Pertua, keselamatan dan keamanan rakyat dan harta benda mereka tidak boleh dipertaruhkan. Pembangunan pesat taman-taman perumahan yang berlaku di Tangga Batu terutamanya di DUN Paya Rumput telah melonjakkan bilangan penduduk dan isi rumah dengan begitu ketara sejak kebelakangan ini. Dengan 29,000 buah rumah kediaman dan 90,000 populasi keperluan kepada pembinaan balai polis baharu amat mendesak sekali.
Buat masa ini DUN Paya Rumput hanya mempunyai sebuah balai polis di Tanjung Minyak yang tidak mampu menampung dengan jumlah penduduk yang ramai. Ini tidak sesuai dengan pekeliling Garis Panduan Kemudahan Masyarakat yang dikeluarkan oleh KPKT pada tahun 2014 iaitu kategori C untuk kawasan separa bandar memerlukan satu balai polis untuk setiap 30,000 penduduk. Ini memberikan kesan dalam gerak kerja keselamatan sosial dan time response oleh pihak PDRM. Saya minta kementerian yang berkaitan untuk mengambil tindakan secepat bagi memastikan rakyat hidup dalam suasana aman dan selamat.
Tuan Yang di-Pertua, penanaman padi juga merupakan antara kegiatan pertanian yang tidak kurang pentingnya di Tangga Batu terutamanya di sekitar Kampung Pinang, Bukit Rambai, Paya Luboh, Klebang dengan jumlah 717 hektar. Keluhan utama pesawah padi kekurangan bekalan air. Sering kali kegiatan pesawah terganggu dan hasil berkurangan disebabkan faktor ini. Di bawah smart farming yang menyasarkan menanam padi sebanyak lima kali dalam dua tahun tidak dapat dilaksanakan dan ditambah lagi tiada subsidi diberikan kepada pusingan ketiga penanam padi.
Walaupun Melaka bukan jelapang padi negara, namun memohon agar segala keperluan pesawah di Melaka dan Tangga Batu khususnya diberi perhatian kerana Melaka juga menyumbang kepada keperluan beras negara dalam memastikan keterjaminan makanan ataupun food security dengan izin dapat dicapai, lebih-lebih lagi apabila pengeluaran beras tempatan belum dapat menampung keperluan domestik negara.
Tuan Yang di-Pertua, sikit sahaja lagi. Kami menghargai hasrat kerajaan untuk mengindahkan dan menaiktarafkan gerai-gerai di Bandaraya Kuala Lumpur. Namun, nasib peniaga-peniaga yang berniaga makanan di pinggir-pinggir jalan di luar bandar juga perlu diberikan perhatian. Rata-rata mereka ini adalah daripada golongan B40 dan mungkin juga ramai di kalangan mereka menjadi miskin situasi disebabkan kesan COVID- 19 yang lalu yang melanda negara dan juga kenaikan kos barang yang tinggi.
Hari ini walaupun kerajaan memperuntukkan sebanyak 60,000 tan sebulan minyak bersubsidi untuk kegunaan rakyat, apakah jumlah ini mencukupi dengan berlakunya pertambahan penduduk dan keperluan kepada vegetable fats dengan izin semakin meningkat. Sesuai dengan konsep berikan pancing dan bukannya ikan Tangga Batu mencadangkan agar kerajaan memberikan subsidi bersasar minyak masak khusus kepada peniaga-peniaga kecil di pinggir jalan di luar subsidi untuk kegunaan rumah tangga agar mereka dapat menjalankan perniagaan kecil-kecilan ini dengan lancar bagi meneruskan kesinambungan hidup.
Dengan ini Tangga Batu menyokong Bajet 2023 dengan beberapa cadangan seperti yang telah dinyatakan. Sekian, terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Saya jemput Yang Berhormat Kalabakan.
Datuk Andi Muhammad Suryady bin Bandy - Kalabakan
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera kepada Tuan Yang di-Pertua, serta sidang Dewan. Terima kasih diucapkan kepada Tuan Yang di-Pertua atas ruang dan
Datuk Andi Muhammad Suryady bin Bandy - Kalabakan
peluang untuk membahaskan Belanjawan 2023 yang telah dibentangkan oleh Yang Amat Berhormat Tambun selaku Menteri Kewangan.
Saya ingin memulakan perbahasan saya dengan menyentuh beberapa aspek iaitu isu pertama, cadangan perwujudan dan pengisytiharan Zon Ekonomi Bebas Sabah di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP), Taman Perindustrian POIC Lahad Datu
(POIC) dan Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP). Momentum pembangunan ekonomi Sabah semakin positif dengan nilai pelaburan pada tahun 2021 mencatatkan RM4.9 bilion berdasarkan Laporan Prestasi Pelaburan Malaysia 2021 Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia.
Tambahan pula, pada tahun 2022 pelaburan yang dijana menerusi Taman Perindustrian Kota Kinabalu adalah sebanyak RM1.68 bilion dan telah berjaya mewujudkan sebanyak 7,963 peluang pekerjaan. Manakala, Taman Perindustrian POIC Lahad Datu telah berjaya menarik pelaburan kira-kira RM3.5 bilion dan Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP) menerima pelaburan berjumlah RM19.8 bilion.
Datuk Andi Muhammad Suryady bin Bandy - Kalabakan
Soalan saya apakah perancangan pihak kerajaan untuk merancakkan lagi sektor ekonomi di taman-taman perindustrian tersebut kerana ianya terbukti memberikan impak yang positif kepada pertumbuhan ekonomi negeri Sabah serta membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.
Melihat kepada perkembangan positif ini, saya mencadangkan agar kerajaan memberikan perhatian kepada perwujudan dan pengisytiharan Zon Ekonomi Bebas di tiga tempat tersebut iaitu:
(i) Taman Perindustrian Kota Kinabalu;
(ii) Taman Perindustrian Pelabuhan Kluster Perindustrian Kelapa Sawit (POIC) Lahad Datu; dan
(iii) Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang.
Perkara ini penting kerana sekiranya ia berjaya dilaksanakan, Taman Perindustrian Kota Kinabalu akan menjadi zon perindustrian penting di rantau ini.
Pelabuhan POIC Lahad Datu pula mampu menjadi salah satu hab transshipment yang utama bagi sektor perkapalan di rantau ini dan Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang juga mempunyai potensi yang cerah untuk menjadi sebagai pusat aktiviti hiliran minyak dan gas dan petrokimia di rantau Asia Pasifik.
Para pelabur dapat mengambil peluang kemudahan atau insentif bebas cukai kepada pelabur-pelabur asing yang ingin melabur di negeri Sabah. Seterusnya, menjana pertumbuhan sosioekonomi tempatan termasuk membuka lebih banyak peluang pekerjaan. Oleh itu, kita mengharapkan agar kerajaan dapat mempertimbangkan cadangan ini dengan mengisytiharkan Zon Ekonomi Bebas Sabah di taman-taman perindustrian yang telah saya nyatakan.
Isu kedua berkenaan peruntukan persekutuan yang tidak habis dibelanjakan dalam tahun kewangan agar dapat disimpan di dalam Tabung Amanah Negeri.
Menyambut baik cadangan Yang Berhormat Menteri Kewangan Sabah berkenaan peruntukan persekutuan bagi tujuan pembangunan negeri Sabah yang tidak habis digunakan dapat disimpan di dalam satu tabung. Ya, kita namakan ia sebagai Tabung Amanah Negeri Sabah.
Peruntukan yang tidak habis digunakan ini adalah disebabkan oleh sistem birokrasi dalam agihan peruntukan ini sehinggakan apabila ingin digunakan, masanya sudah habis dan lambat disalurkan kepada kerajaan negeri sehingga projek-projek yang ingin dilaksanakan yang penting untuk rakyat tidak dapat dilaksanakan segera.
Jadi soalan saya kepada pihak kerajaan, adakah pihak Kerajaan Persekutuan mempunyai halangan terutamanya daripada aspek perundangan sekiranya peruntukan yang tidak habis dibelanjakan ini disimpan di dalam satu Tabung Amanah Negeri kelak.
Ya, berbeza dengan amalan sebelumnya di mana peruntukan itu akan dikembalikan
Datuk Andi Muhammad Suryady bin Bandy - Kalabakan
semula kepada persekutuan. Kita menggesa agar pindaan dibuat sekiranya melibatkan aspek perundangan agar peruntukan ini dapat disimpan di dalam Tabung Amanah Negeri bagi membolehkan projek-projek berkepentingan dapat kita selesaikan dan dapat kita buat dengan kadar yang segera.
Isu ketiga adalah berkenaan tiket penerbangan ke Sabah yang agak mahal. Tuan Yang di-Pertua, saya tinggal di daerah Tawau. Harga tiket ke Tawau pada kebiasaannya berharga sekitar RM300 hingga RM400. Namun, ia akan melonjak tinggi berbanding kadar biasa apabila tiba musim perayaan, apabila tiba musim cuti dan cuti umum persekolahan.
Untuk dapatkan tiket murah, para pengguna terutamanya pelajar ya yang terbeban ini terpaksa membeli dengan harga yang amat mahal dan kadar ini sangat membebankan ya terutamanya bagi mereka yang baru bekerja serta para pelajar.
Soalan saya kepada pihak kerajaan, adakah kesukaran yang dialami di pihak kerajaan untuk mengawal kenaikan harga tiket penerbangan ini yang sudah jelas amat membebankan. Kedua, apakah tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan ini seolah-olah gagal mengekang kenaikan yang keterlaluan. Oleh itu, saya ingin mencadangkan agar kerajaan dapat menetapkan harga siling bagi perjalanan domestik terutamanya bagi kawasan di Wilayah Sabah dan Wilayah Sarawak.
Kedua, mempertingkatkan kapasiti penerbangan domestik terutamanya ketika musim cuti perayaan, cuti umum dan cuti sekolah. Ketiga menambahkan jumlah pengendali syarikat penerbangan tambang murah bagi mewujudkan persaingan yang kompetitif seterusnya memberikan pengguna lebih pilihan dan harga yang lebih murah.
Tuan Yang di-Pertua, isu keempat yang saya ingin bawa ialah memperkasakan tahap keselamatan sempadan. Tahap keselamatan sempadan darat dan laut daripada daerah Tawau dan Kalabakan berada dalam keadaan yang kurang memuaskan. Ini disebabkan oleh kekurangan pos-pos kawalan serta aset-aset yang sedia ada agak usang seperti teknologi pertahanan kita dan juga bot laju bagi tujuan rondaan.
Pada ketika ini, hanya terdapat tiga pos kawalan darat di Parlimen Kalabakan iaitu di Sungai Melayu, Wallace Bay dan Burst-Point sedangkan di sebelah sempadan, sudah ada sembilan buah pos kawalan termasuk sebuah pos pemantau. Perkara ini penting ya Tuan Yang di-Pertua kerana bentuk muka bumi dan geografi fizikal Parlimen Kalabakan ada laut dan ada darat yang menjadikannya terdedah kepada masalah jenayah rentas sempadan, penyeludupan, pemerdagangan manusia, pengedaran dadah dan aktiviti terrorism.
Kawalan sempadan yang kurang memuaskan ini sudah pasti akan memberi kesan kepada hasrat kerajaan untuk membangunkan Kalabakan sebagai sebuah bandar sempadan. Soalan saya kepada kerajaan, adakah faktor mengakibatkan kawalan sempadan ini kurang memuaskan dan mengakibatkan ia dijadikan laluan aktiviti penyeludupan. Sejauh manakah masalah ini akan merencatkan usaha ke arah pembentukan bandar sempadan yang selamat seperti mana perancangan yang telah diutarakan oleh pihak kerajaan.
Oleh itu, saya mencadangkan agar kerajaan memperketatkan kawalan sempadan dengan memperbanyakkan lagi pusat kawalan di sepanjang sempadan Malaysia dan Indonesia. Kedua, menambahkan bilangan anggota yang bertugas di sempadan dan yang terakhirnya memperkasakan pos kawalan sempadan ini dengan aset-aset terkini seperti bot laju, teknologi AI termasuk dron sistem bandar, alat thermal imager, alat pengimbas elektro optical dan peralatan night vision. Isu kelima Tuan Yang di-Pertua...
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Sila gulung.
Datuk Andi Muhammad Suryady bin Bandy - Kalabakan
Last, last point, last point.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Masa sudah tamat.
Datuk Andi Muhammad Suryady bin Bandy - Kalabakan
Peruntukan sebanyak RM1 bilion yang telah diumumkan oleh Yang Amat Berhormat Tambun, kita
Datuk Andi Muhammad Suryady bin Bandy - Kalabakan
mengharapkan dan menyambut baik peruntukan ini untuk membangunkan bandar sempadan di Kalabakan. Tumpuan harus diberikan kepada usaha untuk mewujudkan dengan kadar yang segera Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan serta jalan raya yang menghubungkan Serudong dan juga Kalabakan untuk memastikan tempat dan kawasan di sana berada dalam keadaan makmur.
Jadi, soalan saya apakah – ini bukan lip service tetapi berjaya dilaksanakan pada tahun ini ataupun tahun berikutnya supaya kita dapat menikmati kesan dan hasil daripada pembinaan bandar baru kelak.
Tuan Yang di-Pertua, isu terakhir. Saya ingin bawa isu kawasan...
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Masa sudah tamat.
Datuk Andi Muhammad Suryady bin Bandy - Kalabakan
Masa sudah tamat.
Seorang Ahli
[Bercakap tanpa menggunakan pembesar suara] Gulung, gulung.
Datuk Andi Muhammad Suryady bin Bandy - Kalabakan
Okey, saya ingin menggulung. Menggulung Tuan Yang di-Pertua.
[Tepuk] Memang banyak isu saya bawa ini. Akan tetapi, tidak apa lah. Akhir kata...
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Gulung dengan ucapan terima kasih saja.
Datuk Andi Muhammad Suryady bin Bandy - Kalabakan
Ya. Kalabakan menyokong Bajet 2023. Terima kasih.
[Tepuk]
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Ya. Terima kasih.
Saya jemput Yang Berhormat Mersing.
Tuan Haji Muhammad Islahuddin bin Abas - Mersing
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua kerana memberikan peluang kepada Mersing untuk turut serta membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2023 peringkat dasar pada hari ini. Saya akan menggunakan kesempatan ini untuk menyentuh beberapa perkara asas daripada perspektif nasional dan beberapa isu kawasan di Dewan yang mulia ini.
Tuan Haji Muhammad Islahuddin bin Abas - Mersing
Sebelum itu, saya sekali lagi mengambil peluang untuk mengucapkan takziah kepada semua mangsa banjir di Parlimen Mersing dan ucapan terima kasih kepada semua petugas yang bekerja siang dan malam tanpa henti. Semoga semua tabah dalam menghadapi dugaan ini.
Tuan Yang di-Pertua, berdasarkan tinjauan Moody’s Analytics, prestasi ekonomi negara pada tahun ini diramal berada pada kadar sederhana iaitu KDNK empat hingga lima peratus. Malaysia dijangka tidak akan mengalami kemelesetan ekonomi, namun turut menerima kesan sampingan daripada ketidaktentuan iklim ekonomi global. Prestasi ini dipengaruhi oleh beberapa faktor. Antaranya, sektor ekonomi yang kembali pulih kesan peralihan ke endemik, impak inflasi serta hubungan perdagangan antarabangsa. Indikator ini juga perlu selari dengan kecekapan tadbir urus kerajaan dan kerangka wawasan yang jelas.
Terdahulu, Kerajaan Perikatan Nasional yang dipimpin oleh Yang Berhormat Pagoh sebagai Perdana Menteri ke-8 telah melaksanakan perancangan ekonomi yang inklusif semasa negara berhadapan dengan pandemik COVID-19. Pakej-pakej rangsangan ekonomi yang dilaksanakan memberi kesan positif terhadap pemulihan negara dan masyarakat.
Tuan Yang di-Pertua, pakar ekonomi menjangkakan kadar inflasi negara akan melangkaui tiga peratus bagi suku pertama dan kedua tahun 2023. Rakyat juga semakin terbeban dengan kos sara hidup yang semakin meningkat. Ditambah pula dengan
Tuan Haji Muhammad Islahuddin bin Abas - Mersing
tindakan Bank Negara yang meningkatkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) bermula pertengahan tahun lepas sebanyak tiga kali dan yang terbaru, mencecah 2.75 peratus.
Ahli ekonomi menjangkakan OPR akan terus naik sehingga mencecah 3.0 peratus tahun ini. Keadaan ini memberi impak kepada rakyat, khasnya golongan M40 dan B40 yang membiayai ansuran pinjaman perumahan. Kebanyakan mereka menzahirkan rasa tidak puas hati dengan dasar yang dikenakan oleh Bank Negara. Terdapat cadangan supaya pihak kerajaan melaksanakan semula pemotongan cukai ke atas bunga atau faedah yang dibayar untuk pinjaman perumahan.
Tuan Yang di-Pertua, sebagaimana kita semua sedia maklum, Ahli-ahli Parlimen kerajaan akan menerima peruntukan untuk kawasan masing-masing. Walaupun peruntukan tersebut dikurangkan, namun peruntukan untuk wakil rakyat pembangkang tidak langsung disebut dalam pembentangan belanjawan. Kerajaan seharusnya menzahirkan semangat federalisme yang mana sebarang peruntukan mesti diagih secara adil kepada semua pihak tanpa mengambil kira ijtihad politik. Sudah tiba masanya amalan diskriminasi, pilih kasih dan balas dendam perlu dihentikan demi menghormati democratic accountability, demi membudayakan peranan semak dan imbang yang mendukung penuh Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan.
Tidak adil kepada wakil rakyat pembangkang tidak menerima apa-apa peruntukan pembangunan, Constituency Development Fund (CDF) untuk kawasan masing-masing.
Semua Ahli Yang Berhormat sedia maklum CDF amat diperlukan oleh semua wakil rakyat sebagai peruntukan untuk menyelesaikan keperluan pembangunan dan kebajikan di kawasan masing-masing. Lebih menyedihkan Tuan Yang di-Pertua, Mersing sekali lagi dilanda bencana banjir pada minggu lepas. Sehingga kini, masih ada enam PPS yang dibuka melibatkan 1,168 orang mangsa dari 347 buah keluarga. Sudah pastilah peruntukan amat diperlukan untuk membantu mangsa banjir di PPS dan pasca banjir nanti.
Saya sekali lagi ingin merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada Yang Berhormat Pasir Gudang kerana membawa isu ini pada Khamis lepas. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengusulkan kepada kerajaan supaya peruntukan adil dan sama rata kepada Ahli Parlimen diwujudkan sebagai suatu akta. Apabila ia digubal sebagai undang-undang, sesiapa pun yang memerintah akan patuh dan melaksanakannya. Saya menggesa supaya peruntukan ini tidak wajar diberi berdasarkan ihsan dan ditentukan oleh kuasa Perdana Menteri, Menteri Besar atau Ketua Menteri.
Tuan Yang di-Pertua, saya ingin menyentuh berkenaan infrastruktur jalan raya yang perlu dinaiktarafkan di Johor. Saya menyambut baik cadangan untuk menaik taraf Lebuhraya Utara-Selatan yang menghubungkan laluan Yong Peng Utara ke Senai Utara melibatkan penambahan daripada empat lorong kepada enam lorong.
Saya ingin memohon pihak kerajaan supaya dapat mempertimbangkan segera fasa seterusnya untuk menaik taraf PLUS dari Yong Peng Utara ke Ayer Keroh, Melaka.
Hal ini sangat diperlukan bagi mengurangkan kesesakan, khasnya apabila fasa satu telah selesai nanti. Saya menyambut baik peruntukan RM2.7 bilion bagi menyelenggarakan dan menaik taraf jalan-jalan persekutuan serta kesediaan kerajaan untuk berbelanja RM1.5 bilion bagi menaik taraf baik pulih dan membina jalan raya baharu di kawasan desa.
Selain itu, saya juga bersetuju sebanyak RM100,000 disediakan kerajaan untuk setiap daerah sebagai dana baik pulih menampal jalan-jalan rosak dan berlubang. Saya ingin mengemukakan beberapa persoalan yang perlu diberi perhatian dan keutamaan oleh kerajaan. Antaranya pertama, sejauh manakah peruntukan yang diberikan mencukupi dan berapa lama tempoh untuk menyiapkan projek-projek tersebut? Kedua, apakah pembinaan jalan raya dan kerja penyelenggaraan ini akan melibatkan pengambilalihan tanah penduduk setempat? Sekiranya ada, berapakah jumlah pampasan yang diberikan kepada mereka? Ketiga, adakah cadangan menaik taraf ini turut melibatkan jalan-jalan persekutuan dan desa di seluruh daerah Mersing?
Sehubungan dengan itu, sekali lagi saya memohon kepada pihak kerajaan agar dapat mempertimbangkan keperluan projek pembinaan bypass atau laluan kedua di daerah Mersing yang telah saya bangkitkan semasa perbahasan Titah Diraja minggu lalu.
Tuan Haji Muhammad Islahuddin bin Abas - Mersing
Tuan Yang di-Pertua, NADMA merupakan sebuah agensi yang bertanggungjawab dalam mengurus bencana. Peruntukan kepada NADMA sebanyak RM150 juta yang diumumkan Yang Amat Berhormat Menteri Kewangan saya sifatkan sebagai usaha mempertingkat kecekapan mengurus bencana dan memperkemas tahap kesiapsiagaan bagi menghadapi bencana luar jangka.
Saya berharap kerajaan dapat menyegerakan pembinaan dewan Pusat Pemindahan Kekal (PPK) di lokasi yang kerap dilanda bencana. Apabila berlakunya banjir, banyak kelas dan dewan di sekolah dijadikan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) untuk menempatkan mangsa-mangsa banjir. Saya memohon kepada pihak NADMA untuk membina Pusat Pemindahan Kekal di Parlimen Mersing. Sekurang-kurangnya, dua PPK dengan dilengkapi kemudahan asas yang tetap seperti surau dan tandas yang sempurna perlu dibina di dua zon iaitu satu di zon Mersing dan satu di zon Endau. Kerajaan Pusat juga boleh menyemak dan mengadakan libat urus dengan kerajaan negeri bagi menentukan lokasi dan tapak yang sesuai untuk membina dewan PPK di Mersing.
Tuan Yang di-Pertua, dalam perbahasan hari Khamis lalu, Yang Berhormat Putrajaya ada menyentuh tentang Eagle High Plantations berkaitan pembelian saham Eagle High Plantations oleh FELDA. Di sini saya ingin kemukakan pertanyaan berkaitan transaksi tersebut:
(i) berapakah baki hutang untuk pembelian saham EHP yang masih belum dibayar FELDA kepada GovCo dengan perincian prinsipal dan faedah?;
(ii) berapakah hutang GovCo yang telah dibayar oleh FELDA dengan perincian prinsipal dan faedah?;
(iii) apakah kesan bayaran hutang ini kepada kewangan FELDA?;
(iv) apakah manfaat yang diraih oleh FELDA setakat ini hasil daripada pembelian saham EHP?;
(v) apakah langkah FELDA untuk menyelesaikan legasi yang amat membebankan ini?;
(vi) sekiranya FELDA gagal dalam timbang tara, apakah kesan pelaburan ini kepada kebajikan para peneroka?;
(vii) apakah telah ada tindakan yang diambil ke atas mereka yang bertanggungjawab dalam urus niaga ini?; dan
(viii) kenapakah sahabat-sahabat kita dalam kerajaan senyap sahaja skandal besar melibatkan saham EHP ini?
Tuan Yang di-Pertua, saya ingin mengambil kesempatan untuk menyuarakan aduan masalah masyarakat Mersing untuk dipertimbangkan dalam Belanjawan 2023 ini.
Pertama, masyarakat di gugusan FELDA Tenggaroh sering berhadapan dengan masalah bekalan elektrik terputus, blackout dan masalah ketiadaan air. Keluhan dan aduan telah dikemukakan kepada pihak yang bertanggungjawab, namun masih tiada tindakan tuntas untuk penyelesaian terhadap isu ini.
Kedua, penutupan pusat perkhidmatan Tabung Haji Mersing menyukarkan urusan jemaah haji dan pendeposit serta penama atau waris memandangkan cawangan Tabung Haji terdekat adalah di daerah Kota tinggi atau Kluang. Malah jiran saya, Rompin juga ditutup dan hanya tinggal di Muadzam. Pembukaan cawangan bergerak pula telah berkurangan kepada satu hingga tiga hari sahaja dalam seminggu. Diharapkan pihak Tabung Haji dapat menilai semula penutupan pusat perkhidmatan Tabung Haji Mersing.
Ketiga, sekali lagi saya mencadangkan supaya diberikan elaun sara hidup petani sebagaimana diberikan kepada nelayan. Elaun sara hidup ini dapat meringankan beban petani dalam menghadapi tekanan ekonomi disebabkan kenaikan kos sara hidup serta membantu petani semasa berlaku bencana. Sebagai contoh Tuan Yang di-Pertua, di Mersing, petani kecil sudah terjejas hasil mereka selama lima bulan semenjak Monsun Timur Laut bermula Oktober tahun lalu.
Tuan Haji Muhammad Islahuddin bin Abas - Mersing
Keempat, Yang Amat Berhormat Tambun ada menyatakan kerajaan akan menambah bilangan renjer bagi mengawal kawasan hutan kepada 1,500 orang.
Tuan Haji Muhammad Islahuddin bin Abas - Mersing
Tindakan ini sangat bagus kerana bukan sahaja bertujuan memelihara hidupan liar malah untuk memastikan kurangnya interaksi atau pencerobohan hidupan liar terutamanya kawanan gajah di ladang-ladang sawit dan kebun-kebun petani. Mersing sama isunya seperti Kluang,Tuan Yang di-Pertua, di mana pada malam hari kita ada ‘night safari’. Tuan Yang di-Pertua, sebelum saya mengundur diri, saya ingin memohon pihak kerajaan untuk mempertimbangkan pemberian secara one-off kepada sahabat-sahabat saya kakitangan Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) yang telah ditamatkan kontrak perkhidmatan pada Oktober 2018. Semoga dengan pemberian bantuan ini dapat sedikit sebanyak membantu mereka. Sekian, terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Saya jemput Yang Berhormat Miri.
[Tuan Yang di-Pertua **mempengerusikan Mesyuarat****]
Tuan Chiew Choon Man - Miri
Terima kasih, Tuan Yang di-Pertua. Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Yang Amat Berhormat Tambun selaku Menteri Kewangan kerana membentangkan satu belanjawan yang amat progresif dan komprehensif pada 24 Februari yang lalu.
Dalam belanjawan tersebut, saya amat tertarik tentang inti pati utama Belanjawan 2023 yang mana ia menunjukkan tekad Kerajaan Perpaduan pada hari ini untuk memacu ekonomi negara yang terangkum dan mampan serta menegakkan keadilan sosial.
Tuan Yang di-Pertua, kita sedia maklum dengan keadaan ekonomi dan kewangan negara yang sedang berada dalam keadaan yang amat mencabar. Oleh itu, langkah yang drastik dan serius perlu diambil untuk membantu negara kita keluar daripada keadaan ekonomi yang tidak menentu ini.
Melalui belanjawan ini, kita boleh nampak usaha dan komitmen kerajaan untuk menyelesaikan masalah yang membelenggu negara kita selama ini dan membawa kehidupan yang lebih baik kepada keseluruhan rakyat di negara kita.
Di sini saya ingin menawarkan satu cadangan kepada Kerajaan Persekutuan untuk memajukan ekonomi negara kita dan pada masa yang sama dapat menegakkan keadilan sosial. Cadangan yang saya maksudkan adalah dengan mengerakkan jentera dan sumber Kerajaan Persekutuan untuk mencetuskan pembangunan ekonomi yang drastik di Sarawak.
Tuan Yang di-Pertua, saya menyambut baik dan mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Yang Amat Berhormat Tambun kerana telah meningkatkan perbelanjaan pembangunan di Sarawak sebanyak RM1 bilion dalam belanjawan ini.
Namun pada yang sama, saya juga ingin menyeru kepada Kerajaan Persekutuan untuk memberi lebih banyak tumpuan kepada pembangunan ekonomi Sarawak. Pastinya tumpuan ini akan memberi kebaikan dan keuntungan bukan sahaja kepada Sarawak malah negara kita Malaysia. Seperti lirik lagu negeri Sarawak, “Sarawak dalam Malaysia” yang mana saya pasti jika Sarawak berjaya, Malaysia juga akan berjaya.
Seorang Ahli
Betul.
[Tepuk]
Tuan Chiew Choon Man - Miri
Tuan Yang di-Pertua, Sarawak mempunyai potensi yang begitu besar untuk menjadi satu hab ekonomi yang penting di rantau Asia Tenggara. Keluasan Sarawak sahaja hampir dua pertiga seluruh kawasan Semenanjung.
Keluasan ini bukan sekadar keluasan saiz tanah, namun keluasan Sarawak ini dirahmati
Tuan Chiew Choon Man - Miri
oleh tuhan dengan pelbagai sumber semula jadi, kedudukan geografinya strategik dan turut kaya dengan pelbagai budaya dan adat.
Oleh itu, sekiranya kerajaan dapat teruskan malah tingkatkan lagi usaha seperti yang dicerminkan dalam belanjawan ini dengan menambahkan perbelanjaan pembangunan di Sarawak, saya percaya kita juga mampu melakukan satu keajaiban dalam membangunkan ekonomi negara.
Ini adalah kerana setiap ringgit yang dibelanjakan oleh kerajaan dalam pembangunan Sarawak akan mendatangkan spillover effect dengan izin, di mana ia bukan sahaja menyelesaikan masalah yang sedang dihadapi oleh rakyat tempatan, ia juga akan mencetuskan lebih banyak peluang pekerjaan, peluang ekonomi dan menciptakan nilai yang lebih tinggi untuk ekonomi kawasan tersebut. Seterusnya, kita juga mampu berkongsi hasil tersebut dan membantu negara kita untuk menyelesaikan masalah tertentu.
Di sini saya ingin mengambil kesempatan untuk melontarkan persoalan kepada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah sama ada dapat mewujudkan satu mekanisme bagi mengkaji, mengenal pasti dan seterusnya membaiki dan menaik taraf kesemua jalan perhubungan desa di luar bandar Sarawak demi meningkatkan taraf hidup penduduk luar bandar Sarawak dan juga akan membangunkan ekonomi di bandar.
Tuan Yang di-Pertua, sebagai contoh di Sarawak, kita mempunyai tanah yang begitu luas sekali berbanding dengan jumlah penduduk yang kita ada. Jika kita mempunyai kemudahan infrastruktur yang baik, maka kita sememangnya mempunyai keupayaan untuk membangunkan sektor pertanian dan seterusnya menyumbang dalam keterjaminan makanan di negara kita.
Kita sedia maklum faktor utama harga makanan iaitu ayam, telur dan khinzir meningkat disebabkan oleh kenaikan harga makanan haiwan terutamanya dedak yang mana kandungannya sebahagian besar ialah jagung. Sememangnya kebergantungan kepada makanan haiwan import dapat dikurangkan malah dihentikan dan seterusnya mengurangkan kos pengeluaran makanan sekiranya kita dapat memanfaatkan tanah yang luas di Sarawak dalam bidang pertanian.
Oleh itu, saya ingin bertanya kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan sama ada boleh adakan satu usaha sama dengan Kerajaan Sarawak untuk mencari satu mekanisme bagi menggalakkan petani kita menanam tanaman makanan haiwan seperti jagung di Sarawak dengan skala yang besar dan tidak perlu menunggu selama 10 tahun hanya untuk mencapai pengurangan kebergantungan kepada sumber jagung import sebanyak 30 peratus seperti yang dicadangkan oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan di bawah inisiatif penanaman jagung bijian dalam negara kita.
Ini ialah satu faktor utama kepada kenaikan harga ayam, telur dan khinzir.
Oleh itu. Saya minta kepada kerajaan untuk take it seriously, dengan izin, dan mengambil tindakan yang sewajarnya secepat mungkin.
Setelah mendapat kemudahan infrastruktur yang lengkap, saya yakin...
Datuk Willie anak Mongin - Puncak Borneo
Yang Berhormat Miri, Puncak Borneo minta sedikit laluan.
Tuan Chiew Choon Man - Miri
Okey.
Datuk Willie anak Mongin - Puncak Borneo
Yang Berhormat Miri terima kasih kerana memberi laluan kepada saya dan saya mendengar dengan teliti pembangunan dan juga cadangan untuk merancakkan industri pertanian.
Akan tetapi, seperti yang kita sedia maklum Yang Berhormat Miri, peruntukan belanjawan yang diberikan kepada Kerajaan Negeri Sarawak berbilion-bilion. Pada tahun ini, bakal diberi RM5.6 bilion.
Akan tetapi, pelaksanaannya sering terlewat. Kadang-kadang duit itu diberi pertengahan tahun. Jadi, apabila kerajaan tidak dapat menyempurnakan projek-projek sebelum Disember peruntukan itu ditarik balik.
Datuk Willie anak Mongin - Puncak Borneo
Saya juga ingin mencadangkan kepada Kerajaan Persekutuan supaya memberi dana itu kepada trust fund ataupun state trust fund supaya ia tidak dibagi balik. Ini sebab walaupun kita dengar projek itu ataupun belanjawan itu berbilion-bilion tetapi ia tidak disempurnakan seluruhnya. Jadi ia keeps being recycled. Jadi, saya ingin meminta pandangan Yang Berhormat Miri sama ada kita perlu melaksanakan perkara ini demi merancakkan pembangunan di negeri Sarawak itu. Jadi, setujukah Yang Berhormat Miri?
Tuan Yang di-Pertua
Yang Berhormat Miri, cuma ada tiga minit lagi.
Tuan Chiew Choon Man - Miri
Ya, saya setuju dengan cadangan Yang Berhormat Puncak Borneo untuk lebih melicinkan proses pemberian dana untuk pembangunan Sarawak.
Tuan Yang di-Pertua, setelah mempunyai kemudahan infrastruktur yang lengkap, saya yakin kerajaan mampu membantu untuk menarik lebih banyak pelabur asing ke Sarawak.
Saya ingin mengambil kesempatan di sini untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg kerana sudi memperuntukkan RM200 juta bagi menaik taraf saluran akses delta Batang Baram yang akan memajukan pelabuhan Miri sebagai pusat pembinaan, pembaikan dan penyelenggaraan kapal dan pusat operasi untuk kargo pukal.
Oleh hal demikian, saya ingin melontarkan persoalan kepada kerajaan sama ada dapat memanfaatkan pelabuhan Miri yang akan dinaiktarafkan bagi menjadikan Miri sebagai economic hub yang baharu di pertengahan wilayah Borneo melalui pelbagai usaha dan inisiatif yang dapat menarik pelabur asing di Miri seperti mewujudkan Zon Perdagangan Bebas di Miri atau memberikan insentif kepada pelabur yang akan membantu meningkatkan ekonomi tempatan di Miri.
Saya amat berharap Kerajaan Madani ini bukan sahaja akan melaksanakan Perjanjian Malaysia 1963 tetapi juga akan memartabatkan semangat Perjanjian Malaysia iaitu menghormati Sarawak dan Sabah sebagai rakan kongsi yang akan diberi layanan yang adil dan saksama dan ini dapat dimulakan dengan pembangunan yang seimbang di antara Semenanjung Malaysia dan negeri-negeri Borneo.
Tuan Yang di-Pertua, untuk belanjawan ini saya juga amat menyambut baik usaha kerajaan dalam menyifarkan kemiskinan tegar di negara kita. Saya memetik ayat belanjawan, “Iltizam kerajaan hari ini adalah untuk menoktahkan kemiskinan tegar”. Walaupun ramai di luar sana mungkin mempertikaikan keupayaan malah memperlekehkan usaha kerajaan untuk mencapai matlamat ini. Akan tetapi, sebagai permulaan kita sudah berada di landasan yang betul dan ini telah mendapat pengiktirafan yang positif daripada pakar ekonomi. Kerajaan di bawah pimpinan Yang Amat Berhormat Tambun dan Kementerian Ekonomi yang ditugaskan untuk melaksanakan inisiatif ini bakal mencipta satu sejarah baharu di negara kita sekiranya kita berjaya dalam mengeluarkan rakyat kita daripada garisan kemiskinan yang tegar.
Kalau kita hendak bicarakan soal wow factor dalam belanjawan ini, bagi saya iltizam kerajaan untuk menoktahkan kemiskinan tegar adalah wow factor yang kita ada.
Tuan Chiew Choon Man - Miri
Bagi mereka yang hidup dalam kemiskinan tegar, ini merupakan satu peluang yang begitu penting dalam kehidupan mereka untuk mengubah nasib mereka dan juga anak cucu mereka yang akan datang.
Tuan Sanisvara Nethaji Rayer a/l Rajaji - Jelutong
Yang Berhormat, Yang Berhormat.
Tuan Chiew Choon Man - Miri
Sorry, tiada masa.
Tuan Yang di-Pertua
Masa tiada sudah.
Tuan Chiew Choon Man - Miri
Oleh itu, saya secara ikhlas memohon dan merayu kepada semua Ahli-ahli Yang Berhormat dalam Dewan ini dan seluruh lapisan kerajaan untuk menyokong usaha ini demi membebaskan rakyat kita daripada terus dibelenggu dalam kemiskinan tegar.
Tuan Yang di-Pertua, sebelum saya mengakhiri ucapan perbahasan saya, saya ingin menyatakan bahawa ketika kita bicarakan soal perjuangan untuk kebajikan golongan tertentu, tidak kira dari sudut lokasi, kaum, kelas dan sebagainya, sekiranya kita betul- betul terus serius dalam perjuangan untuk kebajikan mereka, saya rasa tidak ada apa-apa lebih penting daripada membasmi kemiskinan tegar dan mengeluarkan mereka daripada bubble kemiskinan tegar. Atas semangat ini, saya menyokong bajet yang telah dibentangkan oleh Yang Amat Berhormat Tambun tempoh hari. Sekian, terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua
Terima kasih. Saya jemput Yang Berhormat Sipitang.
Datuk Matbali bin Musah - Sipitang
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Bismillahi Rahmani Rahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam sejahtera, salam Malaysia Madani.
Pertamanya, di depan sidang terhormat di Dewan yang mulia ini, saya mulai dengan merakamkan terima kasih dan penghargaan atas kesempatan diberi untuk sama- sama berbahas mengulas Belanjawan 2023 yang dibentangkan oleh Yang Amat Berhormat Tambun selaku Perdana Menteri dan Menteri Kewangan pada hari Jumaat yang lepas.
Keduanya, sebagai mengimbasi roh atau semangat belanjawan tersebut, saya ingin merujuk teks ucapan pada perenggan ke-12 yang menyebut seperti berikut– *“Pembentangan hari ini menumpukan kepada 12 ikhtiar utama berlandaskan tiga tekad iaitu:
(i) pemacuan ekonomi yang terangkum dan mampan;
(ii) reformasi institusi dan tata kelola bagi memulihkan keyakinan; dan
(iii) keadilan sosial yang menyederhana kesenjangan.”* Menghayati inti pati yang tersulam rapi, Sipitang berpendapat belanjawan ini sangat kompak dan inklusif sifatnya, melengkapi hala tuju kemajuan dan pembangunan negara, membawa bersamanya sinergi yang memperkuat usaha pimpinan dalam memenuhi cita-cita, amanah dan aspirasi rakyat.
Sipitang tatap teguh mendukung belanjawan ini merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada Yang Amat Berhormat Tambun selaku Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan kerana menampilkan serangkaian belanjawan yang bersifat pragmatik dan membawa keadilan sosial sebagai tempat rakyat bergantung harap biarpun di tengah- tengah ketidaktentuan pasang surut ekonomi global serta cabaran-cabaran geopolitik seantero dunia.
KK dahulu dikenal Api-api, Ramai nelayan datang memukat, Malaysia Madani disusun rapi, Bukti belanjawan membela rakyat. Tuan Yang di-Pertua, mewakili rakan-rakan Ahli-ahli Yang Berhormat dari Sabah dan Sarawak, Sipitang menyambut baik penyediaan sejumlah besar peruntukan
Datuk Matbali bin Musah - Sipitang
pembangunan untuk kedua-dua negeri kami di seberang Laut China Selatan yang masing-masing sebanyak RM6.5 bilion dan RM5.6 bilion.
Tinggi-tinggi Gunung Kinabalu, tinggi lagi ungkapan terima kasih Sipitang zahirkan kepada pimpinan Kerajaan Perpaduan yang nyata komited membangunkan wilayah kami setara dengan negeri-negeri Semenanjung sebagaimana terpancar dalam Belanjawan 2023 ini. Saya katakan demikian kerana peruntukan RM6.5 bilion kepada Sabah itu menunjukkan 3.1 peratus lebih banyak berbanding jumlah yang diperuntukkan pada belanjawan asal tahun 2023 yang dibentangkan oleh kerajaan sebelum ini. Selain itu, sejumlah RM2.5 bilion lagi yang diperuntukkan kepada Sabah dan Sarawak bagi melaksanakan projek kemudahan awam seperti jalan raya, lampu jalan, bekalan elektrik dan air.
Sipitang juga mengalu-alukan komitmen Kerajaan Persekutuan untuk mempercepatkan pelaksanaan dan penyiapan Projek Pan Borneo Sabah-Sarawak Road Link sejauh 1,000 kilometer dengan memperuntukkan sejumlah RM20 bilion.
Sesungguhnya Sipitang mendapat tempias dan kesan secara langsung terhadap hal-hal yang disebutkan dalam Belanjawan 2023 ini.
Pertama, kami merupakan pintu masuk utama negeri Sabah dan permulaan Projek Pan Borneo jajaran Sabah.
Keduanya, kemudahan asas jalan raya, lampu jalan, bekalan elektrik dan air masih mendambakan perhatian serius berikutan keadaannya yang begitu jauh ketinggalan berbanding di tempat lain.
Pertama, isu yang saya bawa adalah isu bekalan air yang selalu menjadi isu hangat terutama di kawasan Sipitang, di kawasan DUN Sindumin. Justeru, kita meminta projek bekalan air bersih di kawasan kami dipertingkatkan dengan mengambil kira kemampuan dan keupayaan loji-loji sedia ada. Begitu juga projek air bersih di Beaufort perlu dinaikkan taraf kerana ia turut menyalurkan bekalan kepada sebahagian penduduk di kawasan DUN Lumadan dan Parlimen Sipitang.
Jika bekalan air bersih di Beaufort dapat ditingkatkan kapasitinya, maka isu-isu air yang dialami oleh penduduk beberapa kampung seperti Bangkalalak, Mentulud, Bintuka, Padas Demit, Suasa dan beberapa kawasan persekitaran, insya-Allah, ia akan dapat diselesaikan.
Kedua, isu pendidikan juga memerlukan perhatian di kawasan Sipitang. Banyak sekolah-sekolah menengah dan rendah masih berkeadaan daif dan perlu dinaikkan taraf.
Antaranya Sekolah Menengah Pengiran Omar (SMPO), sekolah tertua di Daerah Sipitang.
Sekolah Menengah Gadong dan juga Sekolah Menengah Weston dan beberapa sekolah rendah yang lain yang perlu dinaikkan taraf dan ini perlu perhatian daripada kementerian yang berkenaan.
Saya juga ingin menarik perhatian Dewan yang mulia ini supaya kerajaan mempertimbangkan untuk mewujudkan sebuah sekolah menengah di Long Pasia, berikutan jarak kawasan tersebut melebihi 140 kilometer ke sekolah menengah terdekat di Pekan Sipitang. Sewaktu perbahasan minggu lepas, saya hanya sempat membangkitkan mengenai isu jalan raya dan low-level crossing di Long Pasia tetapi sebenarnya isu pembinaan sekolah menengah baru di kawasan itu juga perlu diberi perhatian serius.
Long Pasia juga, untuk makluman, merupakan mutiara Sipitang kerana kedudukan geografinya berpotensi membangun sebagai destinasi pelancongan utama.
Dengan cuaca sejuk menurun sehingga kadangkala serendah 15 darjah Celsius pada waktu malam, Long Pasia merupakan kawasan subur untuk pelbagai tanaman tanah tinggi.
Sehubungan dengan itu, Long Pasia yang bermaksud ‘muara sungai merah’ dalam bahasa etnik Lundayeh, perlu dihubungkan dengan sistem telekomunikasi untuk kemudahan penduduk, petugas kerajaan seperti guru, anggota keselamatan dan kakitangan kesihatan serta pelancong yang berkunjung dari semasa ke semasa ke
Datuk Matbali bin Musah - Sipitang
perkampungan tersorok ini, yang letaknya bersempadanan tiga segi antara Sabah, Sarawak dan Kalimantan Timur, Indonesia.
Untuk itu, kita berharap Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) membina lebih banyak menara pemancar di kawasan ini kerana ia merangkumi kawasan sekitar seperti Long Mio, Maligan, Iburu dan Ulu Bole.
Ketiga, pembinaan pusat latihan kemahiran Sipitang. Saya rasa sudah tiba masanya sebuah pusat latihan kemahiran diwujudkan di kawasan kami ini untuk melahirkan modal insan yang berkemahiran tinggi berikutan pembangunan pesat pelbagai sektor industri seperti gas ammonia, SOGIP dan SAMUR. Ini seiring pendekatan Belanjawan 2023 yang mengupayakan pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET) sekali gus mengelak penghijrahan kepada bandar-bandar besar seperti Kota Kinabalu dan juga Kuala Lumpur.
Keempat, isu kemudahan kesihatan. Sipitang berharap mendapat agihan daripada peruntukan sebanyak RM30 juta dalam Belanjawan 2023 ini bagi memperbanyakkan kemudahan klinik, bank dan mahkamah bergerak di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak untuk menyediakan kemudahan klinik di beberapa perkampungan jauh terpencil di kawasan kami.
Kelima, isu hakisan jalan dan tebing Sungai Padas di kawasan DUN Lumadan iaitu salah satu daripada dua kawasan DUN dalam Parlimen Sipitang. Ancaman hakisan jalan dan tebing sungai di kawasan ini amat serius dan memerlukan tindakan segera pihak berkuasa. Antara jalan terjejas teruk adalah jalan Kampung Luagan Sanginan, Batandok Lupak, Lupak, Tuhu Lupak, Gadong, Kampung Labi, Lalanggut, Suasa, Kaundu, Pintas dan Barumbai. Selain jalan raya, tebing Sungai Padas berdekatan jalan-jalan di kampung tersebut juga mengalami hakisan teruk dan dikhuatiri boleh mengancam keselamatan pengguna jalan raya dalam jangka masa panjang.
Keenam, isu jalan sempit dan sesak juga menjadi masalah di beberapa kawasan di Sipitang. Sehubungan dengan itu, kita meminta pihak JKR untuk melebarkan bahu di kiri dan kanan jalan raya dari Kampung Lajau ke Kampung Kabajang dalam kawasan DUN Lumadan. Pelebaran bahu jalan ini penting untuk memudahkan pengguna ataupun penduduk meletakkan kenderaan terutama sekali ketika berlaku kecemasan atau mengadakan sebarang majlis kenduri kendera.
Tuan Yang di-Pertua, dari Sabah Negeri di Bawah Bayu, saya sekali lagi mengucapkan rasa syukur dan syabas kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan atas imbuhan-imbuhan buah tangan dan khabar gembira yang dibawa dalam Belanjawan 2023 ini.
Datuk Matbali bin Musah - Sipitang
Kami seisi negeri di seluruh pelosok tempat dari Simpang Mengayau, The Tip of Borneo hingga ke Sipitang di sempadan Brunei-Kalimantan-Sarawak mengharap sungguh-sungguh agar belanjawan ini menjadi realiti dan manifestasi, bukan fantasi atau imaginasi semata-mata.
Kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Sipitang berteguh pendirian di belakang kepimpinan Yang Amat Berhormat Tambun sebagai nakhoda dinamik kita yang sentiasa bingkas bergerak tangkas dan pantas mengemudi pelayaran mengharung cabaran yang mampu mendepani gugatan di gelanggang politik.
Dari Sindumin sampai Lumadan, Jalan-jalan mencari tarap, Terjamin kuat Kerajaan Perpaduan, Tempat rakyat bergantung harap. Demikianlah harapan tinggi kami setinggi Gunung Kinabalu dan impian seluas Lautan China Selatan untuk sederap langkah bergerak seiringan membangun negeri
Datuk Matbali bin Musah - Sipitang
seperti mana di tanah Semenanjung ini. Dengan kestabilan politik dan keteguhan kepimpinan yang ada pada hari ini, kami yakin lagi percaya bahawa di hujung perjalanan ini akan ada cahaya bersinar terang, insya-Allah. Sekian, Sipitang menyokong. Terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua
Terima kasih. Yang Berhormat Parit Buntar.
Tuan Haji Mohd Misbahul Munir bin Masduki - Parit Buntar
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera.
Wahai Tuan Yang di-Pertua yang bijaksana, Bagilah masa yang secukupnya, Jangan sekat waktu berbicara, Sampai masa berhenti jua. Saya turut simpati dan ucap takziah kepada mangsa-mangsa banjir di negeri- negeri yang dilanda banjir khususnya negeri Johor, Pahang dan sebagainya. Semoga mereka bersabar menghadapi musibah ini. Alhamdulillah KHIDMAT Malaysia yang ditubuhkan oleh PAS dan juga Jabatan Amal Dewan Pemuda Pas Pusat telah menghantar para petugas sukarelawan untuk membantu mangsa-mangsa banjir mencuci rumah, masjid, dewan orang ramai, sekolah dan sebagainya. Tahniah dan terima kasih. Saya ingin mengajak Ahli-ahli Parlimen yang lain, Yang Berhormat Hulu Langat kah, oh tidak ada, Yang Berhormat Jelutong kah dan sebagainya, mari sama-sama kita membantu mereka di Johor ataupun di Pahang.
Rasulullah SAW bersabda, [Membaca sepotong hadis] “Agama itu adalah nasihat. Kami berkata untuk siapa? Beliau bersabda untuk Allah, kitabnya, Rasulnya, pemimpin kaum Muslimin dan orang-orang awam.” Jadi, hari ini para pembangkang yang berperanan sejak di awal sidang membahaskan untuk tujuan mengimbangkan peranan di Parlimen dan juga berkhidmat membantu rakyat dalam bentuk apa sahaja yang mampu kita sumbangkan kepada mereka dan kepada kerajaan kita bertindak untuk memberi nasihat sesuai dengan apa yang disabdakan oleh Rasulullah SAW. Cuma, lenggok bahasa yang kita gunakan kadang-kadang ada sesetengah kita berucap menggunakan bahasa balaghah, mantik dan sebagainya, dalam bentuk sindiran, dalam bentuk teguran, nasihat dan sebagainya.
Maka, sebagai pihak kerajaan dan pemimpin hendaklah menerimanya dengan penuh sabar. Jangan ambil hati.
Salah satu antara polisi dalam Kerajaan Madani ialah adil. Saya hendak ingatkan sebuah hadis Rasulullah SAW yang berbunyi, dengan izin [Membaca sepotong hadis] Maksudnya, “Sesungguhnya manusia yang paling dicintai oleh Allah pada hari kiamat dan paling dekat kedudukannya di sisi Allah adalah seorang pemimpin yang adil. Sedangkan orang yang paling dibenci oleh Allah dan paling jauh kedudukannya dari Allah adalah seorang pemimpin yang zalim.” Justeru, berlaku adillah kerana adil itu dekat dengan takwa.
Tadi Yang Berhormat Sungai Petani ada menyebut kononnya kerajaan negeri yang diperintah oleh PN juga tidak memberi peruntukan kepada wakil rakyat yang lain.
Saya hendak beritahu Kelantan sehingga sekarang masih lagi memberi peruntukan kepada semua ADUN tidak kira pembangkang tidak kira kerajaan.
[Tepuk] Terengganu sehingga hujung tahun 2022— masa ini saya tidak pasti tidak dapat maklumat. Juga memberi peruntukan yang sama kepada semua ADUN kerajaan dan ADUN pembangkang. Begitu juga negeri Kedah, negeri Yang Berhormat Sungai Petani, negeri Tuan Yang di-Pertua juga memberi peruntukan yang adil kepada semua pembangkang dan semua ADUN kerajaan.
[Tepuk] Pahang dahulu bagi, sekarang tidak bagi.
Kalaupun kerajaan hari ini tidak sanggup hendak tiru Kelantan, Terengganu, Kedah, tirulah Perak yang turut memberi peruntukan yang sama adil dengan pembangkang dan juga kerajaan. Tahniah Perak, terima kasih Perak. Tirulah Johor. Saya
Tuan Haji Mohd Misbahul Munir bin Masduki - Parit Buntar
dimaklumkan oleh Yang Berhormat Mersing, Johor juga memberi peruntukan yang adil kepada kerajaan dan juga kepada pembangkang. Jadi, tirulah negeri-negeri yang sedemikian kerana kita mahu bersifat adil kepada semua rakyat tidak kira parti, tidak kira agama, bangsa dan negara.
Tuan Yang di-Pertua
Yang Berhormat Jelutong bangun.
Tuan Sanisvara Nethaji Rayer a/l Rajaji - Jelutong
[Bangun]
Tuan Haji Mohd Misbahul Munir bin Masduki - Parit Buntar
Yang Berhormat Jelutong, saya tidak bagi Yang Berhormat Jelutong. Minta maaf. Lain kali, lain kali. Saya tidak kata apa-apa pun.
Tuan Sanisvara Nethaji Rayer a/l Rajaji - Jelutong
[Ketawa] Saya hendak tanya soalan saja.
Tuan Haji Mohd Misbahul Munir bin Masduki - Parit Buntar
Tidak payah.
Okey. Kedua, saya hendak sentuh tentang peranan guru KAFA dan apa kebajikan yang boleh kerajaan bantu untuk menaikkan taraf guru KAFA iaitu guru yang besar baktinya dalam membentuk murid yang cemerlang dalam bidang agama di dunia dan akhirat.
Mereka ini merupakan kelompok pendidik yang menerap pendidikan asas agama seperti pembelajaran al-Quran dan asas fardu ain. Jumlah guru KAFA seluruh negara sehingga sekarang 35,000 orang. Jumlah murid lebih kurang 1.2 juta orang lebih. Jumlah sekolah 5,943 buah dan jumlah kelas 53,101 kelas.
Guru KAFA dahulu dapat elaun RM1,000 sebulan. Alhamdulillah, kerajaan hari ini menaikkan RM100 menjadikan RM1,100. Namun, masih lagi tidak menepati gaji minimum yang disarankan oleh kerajaan RM1,500.
[Tepuk] Guru KAFA dilantik dalam kalangan mereka yang mempunyai kelulusan pendidikan Islam berdasarkan syarat-syarat yang telah ditetapkan. Ada yang berkelulusan diploma, ada degree dan sebagainya, ada STPM, ada SPM, Empat Senawi dan sebagainya, namun mereka dilantik secara kontrak oleh agensi pelaksana di negeri-negeri iaitulah pihak berkuasa agama negeri mengikut jumlah kuota yang diluluskan oleh Kementerian Kewangan dari semasa ke semasa.
Selaku kelompok pendidik yang banyak jasanya dan sekian lama penglibatan yang telah bermula semenjak 30 tahun yang lalu, sewajarnya kebajikan guru-guru ini begitu juga pegawai-pegawai penyelia KAFA yang masih berstatus contract of service, gred S19 diberi perhatian. Permasalahan utama yang melingkari kebajikan guru-guru dan para pegawai ini adalah apabila perjawatan ini tidak disandarkan kepada mana-mana skim Perkhidmatan Awam Persekutuan mahupun skim Pegawai Perkhidmatan Pendidikan. Jadi, kerajaan kena ambil langkah yang proaktif untuk membantu warga KAFA ini supaya mereka sama ada dinaikkan taraf menjadi guru tetap dan berpencen kerana sumbang besar mereka kepada anak-anak umat Islam di negara ini.
[Tepuk] Kedua, saya mencadangkan kepada Kerajaan Madani untuk memberi bantuan buku teks percuma kepada pelajar-pelajar sekolah rendah agama rakyat dan juga menentukan kadar yuran yang berpatutan yang seragam di seluruh negara. Sekolah- sekolah rendah agama mengenakan yuran bulanan yang tidak seragam antara satu sekolah dengan sekolah yang lain. Ibu bapa juga diminta membeli buku-buku teks yang juga tidak seragam di antara sekolah-sekolah agama rakyat.
Bayangkan kalau ibu bapa pindah tempat lain, hantar anak sekolah agama lain, buku sudah lain, kena beli yang lain. Sudah tentulah mereka tidak mampu. Anak di bawah tanggungan pula lima hingga enam orang yang dihantar ke sekolah agama rakyat. Oleh sebab itulah sudah tiba masanya untuk semua sekolah agama rakyat dibekalkan buku teks percuma yang boleh digunakan oleh anak-anak umat Islam dari semasa ke semasa, dari setahun ke setahun.
Ketiga, elaun imam dan bilal. Kita kena hargai imam-imam masjid, juga pegawai yang bertugas sepenuh masa di masjid. Apa salahnya kerajaan juga memikirkan untuk menaikkan taraf jawatan imam di seluruh negara supaya mereka tetap dan juga berpencen. Imam ini penting, kalau tidak ada imam sembahyang jemaah pun tidak boleh.
Kalau tidak ada bilal macam mana? Tidak ada siapa hendak laungkan azan. Kalau tidak ada noja ataupun siak siapa hendak bersihkan tandas, siapa hendak tutup lampu, api dan
Tuan Haji Mohd Misbahul Munir bin Masduki - Parit Buntar
sebagainya? Siapa hendak tutup pintu masjid, pagar dan sebagainya? Justeru, mereka juga kerajaan agar fikir untuk supaya mereka diberi jawatan yang sesuai dengan kelayakan mereka, sesuai dengan tanggungjawab mereka.
Keempat, elaun pengerusi JPKK ataupun ketua kampung. Pada saya, kadang-kadang elaun yang dibayar tidak berbaloi dengan tugas jaga kampung. Satu kampung kadang- kadang ada 1,000 hingga 2,000 orang penduduk tetapi elaunnya tidak berbaloi. Justeru, kerajaan kena fikir untuk memberi elaun yang setara dengan tugas mereka.
Tuan Haji Mohd Misbahul Munir bin Masduki - Parit Buntar
KWSP. Ini isu yang sering disebut oleh semua yang berucap sewaktu sidang bajet dan juga sidang Titah Ucapan Tuanku. Saya mencadangkan supaya berilah peluang kepada para pencarum supaya mereka boleh mengeluarkan dengan kadar yang berpatutan dan bersasar. Mereka bukan hendak tambah caruman RM500, itu pun terima kasihlah boleh beri.
Akan tetapi yang mereka hendak mereka boleh mengeluarkan KWSP di Akaun 1 dan 2 sebanyak RM10,000 atau ke atas supaya mereka boleh mengimbangi kos sara hidup yang membebankan mereka, harga barang yang tinggi mengganggu kehidupan mereka. Menu Rahmah yang diperkenalkan oleh kerajaan tidak mampu mengurangkan kos sara hidup yang ditanggung oleh mereka.
Saya hendak sentuh dalam keadaan masa yang tinggal seminit lagi. Pertama, isu tempatan. Pekan Kuala Kurau tidak ada dewan orang ramai atau dewan serba guna.
Penduduknya padat tetapi tidak ada kemudahan dewan orang ramai. Penduduk kampung, sekolah-sekolah, NGO dan banyak pihak bermasalah apabila ingin menganjurkan program. Saya difahamkan isu tapak tidak ada masalah. Harap pihak kerajaan, KPKT atau agensi kerajaan berkaitan ambil berat isu ini.
Kedua, jadikan Parit Buntar kawasan Parlimen saya sebagai destinasi pelancong.
Ban Pecah yang sentiasa dikunjungi ramai pelancong-pelancong dari luar Perak dan Parit Buntar sendiri. Hujung minggu penuh sesak, mohon Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya buat lawatan ke Ban Pecah untuk tengok sendiri dan dipohon dinaiktaraf supaya lebih selesa dengan kemudahan-kemudahan awam. Ini disebabkan Parit Buntar juga menggamitkan pelancong dengan kari sembilangnya dan sebagainya. Kalau Ahli-ahli Yang Berhormat datang Parit Buntar, call saya, kita hidang Menu Rahmah Wal-Mawaddah dengan kari sembilang.
Ketiga, saya ingin mencadangkan supaya menaik taraf dan melebar persimpangan jalan masuk ke Jalan Perusahaan FT3149 Parit Buntar Daerah Kerian, Perak. Kemudian menaikkan taraf dan menurap semula jalan masuk ke pusat bandar di Jalan Perusahaan FT3149 Parit Buntar Daerah Kerian, Perak, menaik taraf Jalan Ipoh- Butterworth daripada Simpang Ampat, Parit Buntar ke Sungai Boga di Daerah Kerian.
Juga menaik taraf longkang konkrit Pekan Kuala Kurau, Jalan Bagan Serai-Kuala Kurau FT075 Kuala Kurau, Perak Darul Ridzuan.
Akhir sekali, mohon dikaji agar peruntukan kerja-kerja menaik taraf dan selenggara disalurkan kepada JKR negeri dan dilaksanakan oleh JKR daerah.
Berdasarkan beberapa aduan awam dan rungutan kontraktor tempatan, adalah lebih baik kerja-kerja dilaksanakan oleh JKR daerah. Manakala pihak konsesi yang dilantik hanya fokus pada kerja-kerja selenggaraan, rutin mengikut skop kerja yang diberikan sahaja. Ini dapat meningkatkan ekonomi penduduk tempatan dan peluang pekerjaan di mana kontraktor yang akan melaksanakan kerja secara sebut harga yang ditawarkan oleh JKR daerah adalah kontraktor tempatan. Pekerja terdiri daripada penduduk tempatan dan hardware juga dibeli dari kedai-kedai tempatan. Penjimatan kos dapat dilaksanakan kerana kos kontraktor tempatan jauh lebih rendah daripada kos yang dilaksanakan oleh pihak konsesi kerana kontraktor tempatan perlu menyebut harga dan bersaing untuk mendapatkan kerja yang ditawarkan berbanding pihak konsesi yang dilantik menggunakan pakar, kadar harga yang dimeterai dalam equal contract dengan penjimatan kos.
Sekali lagi, akhir sekali Tuan Yang di-Pertua. Nasib petani seperti penanam padi, getah dan sawit sering disebut dan diberi perhatian oleh kebanyakan Ahli Parlimen yang
Tuan Haji Mohd Misbahul Munir bin Masduki - Parit Buntar
berucap,begitu juga pihak kerajaan. Bagaimanakah pula dengan pekebun kelapa? Saya orang Bagan Datuk, kelapa banyak.
Tuan Yang di-Pertua
Tadi dia kata padi, sekarang masuk kelapa pula?
[Ketawa]
Tuan Haji Mohd Misbahul Munir bin Masduki - Parit Buntar
Padi sudah disebut. Kelapa tak ada orang sebut.
Tuan Yang di-Pertua
Last-lah, kawan tunggu lama. Tolong, last, last.
Tuan Haji Mohd Misbahul Munir bin Masduki - Parit Buntar
Hendak habiskan ini, satu ayat.
Tuan Yang di-Pertua
Last.
Tuan Haji Mohd Misbahul Munir bin Masduki - Parit Buntar
Okey.
Kebanyakan— kelapa yang sebahagian bergantung pada hasil kelapa selain tanaman sampingan seperti pisang dan sebagainya. Pekebun kelapa di Bagan Datuk terutamanya, Sabak Bernam di Selangor juga perlu pembelaan. Saya orang Bagan Datuk, Yang Amat Berhormat Timbalan Perdana Menteri pun orang Bagan Datuk tetapi dia tak sebut hal kelapa. Saya sebut, tak apa.
Akibat harga pasaran yang tidak mampu menampung sara hidup, mereka tiada pilihan, terpaksa menukar status kelapa kepada sawit. Risikonya kita akan mengalami kekurangan bekalan kelapa terutamanya di musim-musim perayaan. Hendak buat rendang, hendak buat lemang semua guna kelapa dan terpaksa import kelapa daripada negara jiran. Harga sudah tentulah lebih mahal dibandingkan dengan kelapa tempatan.
Mohon Yang Berhormat Menteri Pertanian fikir tentang masalah pekebun kelapa di Bagan Datuk, Sabak Bernam, Tanjung Karang, Kuala Selangor dan sebagainya. Sekian, terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Tuan Yang di-Pertua
Terima kasih. Saya jemput Yang Berhormat Putatan.
Datuk Ir. Shahelmey bin Yahya - Putatan
*Bismillahi Rahmani Rahim.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh*, salam Malaysia Madani. Tuan Yang di- Pertua, perkara pertama yang ingin saya sentuh pada perbahasan kali ini adalah berkenaan dengan jalan raya di Sabah.
Rakyat Sabah amat mengalu-alukan pengumuman peruntukan RM20 bilion bagi pelaksanaan Lebuhraya Pan Borneo di Sabah dan Sarawak. Maka dengan adanya dana sebanyak RM20 bilion itu adalah menjadi harapan kami rakyat Sabah untuk melihat pelaksanaan baki 20 daripada 35 pakej dalam Fasa 1, Lebuhraya Pan Borneo Sabah dapat dilaksanakan dalam tempoh terdekat.
Untuk mempercepatkan pelaksanaan Pan Borneo Highway Sabah, Fasa 1 ini saya ingin mencadangkan agar dipertimbangkan pengecualian kepada sesi value assessment terhadap pakej-pakej yang berkenaan kerana proses ini telah dilakukan pada tahun 2017 dan 2018. Dengan pengecualian ini, adalah dijangka dapat menjimatkan sekitar empat hingga lima bulan tempoh memuktamadkan kerja reka bentuk. Saya juga berharap agar dana ini dapat disalurkan pada tahun ini juga bagi membolehkan pelaksanaan Lebuhraya Pan Borneo Sabah dapat dibuat awal dan juga akan melibatkan kontraktor-kontraktor tempatan Sabah yang berwibawa dan berkeupayaan.
Selain daripada Lebuhraya Pan Borneo, pagi tadi semasa sesi soalan lisan, saya tertarik dengan jawapan Yang Berhormat Timbalan Menteri Kerja Raya Malaysia berkaitan Dasar Zero Potholes. Justeru, saya juga ingin memohon agar dipertimbangkan tambahan peruntukan untuk penyelenggaraan jalan-jalan persekutuan di Sabah yang amat memerlukan kerja-kerja penambahbaikan terutamanya jalan di laluan Tamparuli- Ranau dan Kinabatangan-Lahad Datu.
Datuk Ir. Shahelmey bin Yahya - Putatan
Perkara kedua yang ingin saya sentuh pada petang ini ialah berkenaan dengan Arahan Perbendaharaan 182 (AP 182). Sebelum berbicara lebih lanjut, saya ingin merakamkan ucapan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan atas pengiktirafan terhadap Jabatan Kerja Raya Sabah dan Jabatan Pengairan dan Saliran Sabah sebagai jabatan teknik di bawah AP 182 pada 4 Januari 2023. Saya juga ingin merakamkan ucapan penghargaan kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri atas penurunan kuasa projek pembangunan bernilai sehingga RM50 juta kepada kerajaan negeri. Saya percaya peruntukan pembangunan bernilai RM50 juta ini dapat dilaksanakan dengan pantas dan efisien.
Justeru, saya mencadangkan agar kesemua peruntukan bagi projek-projek pembangunan bernilai sehingga RM50 juta yang telah diluluskan perlu disalurkan sepenuhnya kepada Kementerian Kewangan Negeri Sabah. Ini bagi memastikan kerajaan negeri bertanggungjawab sepenuhnya dalam pelaksanaan projek pembangunan tersebut.
Sekiranya perkara ini tidak dilaksanakan, senario kelewatan projek pembangunan tetap boleh berlaku walaupun dengan pengiktirafan JKR Sabah sebagai jabatan teknik.
Prosedur perolehan yang berkaitan perlulah diselaraskan bagi mengelak kelewatan agar pelaksanaan projek pembangunan dapat dijalankan dengan lancar.
Seterusnya penurunan kuasa, menandatangani surat setuju terima (SST) dan kontrak bagi semua projek pembangunan bernilai sehingga RM50 juta. Juga mestilah daripada Kementerian Kewangan Negeri Sabah dan tidak lagi daripada Menteri di Kementerian Pelanggan.
Beralih kepada sudut kesihatan pula, saya memohon agar Kerajaan Persekutuan memberi keutamaan dan meneliti semula keperluan kesihatan yang mendesak di Sabah.
Seterusnya mempercepatkan permohonan menaik taraf 287 buah klinik daif dan 39 buah klinik tidak daif tetapi tidak selesa diduduki. Seterusnya, saya memohon agar Kementerian Kesihatan Malaysia meneliti cadangan pertambahan keluasan Klinik Kesihatan Putatan yang saban hari semakin sesak.
Beralih lagi ke aspek pendidikan pula. Saya memohon agar bajet yang diperuntukkan kepada pendidikan akan terus memberi tumpuan dan keutamaan kepada isu-isu kritikal pendidikan di Sabah yang melibatkan aspek-aspek berikut.
Pertama, penggantian atau menaik taraf sekolah uzur dan daif. Dalam usaha penggantian sekolah uzur dan daif, saya memohon agar garis panduan EPU bagi perancangan bangunan dapat disemak dan disesuaikan dengan keadaan di Sabah kerana keluasan penggantian sekolah usang dan daif sekarang banyak sekolah yang tidak menepati ketetapan minimum garis panduan EPU. Ini menyebabkan sekolah- sekolah daif tersebut tidak tersenarai dalam projek menaik taraf ataupun penggantian.
Datuk Ir. Shahelmey bin Yahya - Putatan
Seterusnya menyegerakan pembinaan dan penyiapan sekolah baharu bagi menyelesaikan isu 23 buah sekolah tumpang di Sabah. Saya juga ingin menarik perhatian kepada Kementerian Pendidikan Malaysia untuk memasukkan permohonan menaik taraf bilik kuliah dan kolej kediaman Institut Pendidikan Guru Kampus Gaya, Kota Kinabalu, Sabah pada tahun ini kerana keadaannya yang agak mendesak. Begitu juga dengan permohonan pendawaian semula bagi Sekolah Kebangsaan Contoh Petagas yang berada dalam Parlimen Putatan.
Seterusnya, berkenaan dengan isu kemiskinan perumahan, saya memohon agar peratusan agihan peruntukan yang lebih besar daripada kementerian-kementerian yang berkaitan bagi tujuan berikut. Satu, projek pembaikan luar bandar dan program-program pembasmian kemiskinan. Ini termasuklah membaik pulih rumah di luar bandar, penyelenggaraan perumahan awam kos rendah negeri, program perumahan rakyat dan program perumahan rakyat disewa untuk di daerah Putatan dan kawasan Sembulan Tanjung Aru yang berada dalam Parlimen Putatan.
Tuan Yang di-Pertua, nampaknya saya ada masa yang lebih. Sebelum saya menutup perbahasan saya kali ini, secara kesimpulannya saya ingin memohon agar perhatian tinggi dan komitmen dapat diberikan kepada usaha untuk mengatasi jurang wilayah di antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia. Konsep jurang wilayah
Datuk Ir. Shahelmey bin Yahya - Putatan
mesti dijadikan naratif utama pelaksanaan terpenting dalam menegakkan keadilan sosial selaras dengan konsep Malaysia Madani. Dengan tercapainya usaha merapatkan jurang wilayah ini, maka hasrat Malaysia Madani itu akan dapat dirasai oleh seluruh rakyat negara kita yang kita cintai.
Tuan Yang di-Pertua, Putatan mohon menyokong.
Tuan Yang di-Pertua
Terima kasih Yang Berhormat Putatan. Saya jemput Yang Berhormat Kemaman.
Tuan Che Alias bin Hamid - Kemaman
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Pertama, saya merakamkan ucapan ribuan terima kasih kepada Tuan Yang di-Pertua kerana memberi kesempatan kepada saya Kemaman untuk turut membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan (Belanjawan 2023).
Apa yang boleh saya simpulkan dalam Belanjawan pada kali ini, di mana yang telah diutarakan oleh rakan-rakan Ahli Parlimen Pembangkang yang lain bahawa belanjawan kali ini bersifat berat sebelah kepada pembangkang malah lebih bersifat politik balas dendam selain menafikan hak Ahli Parlimen Pembangkang untuk mendapatkan peruntukan yang sama rata.
Bajet kali ini kalau kita melihat ia tidak menyeluruh dalam membantu rakyat khususnya bumiputera. Dalam pendekatan kerajaan untuk memelihara kepentingan bumiputera, ia tidak banyak disentuh dalam ucapan bajet pada kali ini.
Tuan Yang di-Pertua saya suka menyebut berhubung dengan pembatalan hutang FELDA. Kerajaan hari ini telah membatalkan penghapusan hutang FELDA berjumlah RM8 bilion yang diperkenalkan semasa pentadbiran Kerajaan Perikatan Nasional. Sudah pasti seramai 112,000 orang lebih peneroka FELDA di seluruh negara yang majoritinya adalah golongan B40 yang di kalangan bumiputera orang Melayu akan terkesan dengan bebanan hutang yang tidak berkesudahan dan tiada penghujungnya. Berita kegembiraan menanti warga FELDA sudah pasti hancur apabila penghapusan hutang FELDA ini dibatalkan tanpa kajian mahupun libat urus yang secara keseluruhannya.
Ini bukan isu politik tetapi isu rakyat. Apakah rasionalnya penghapusan hutang FELDA ini dihentikan sedangkan warga FELDA amat-amat memerlukan inisiatif ini dengan kos sara hidup yang semakin melonjak tinggi? Apakah usaha kerajaan dalam membantu warga FELDA dalam keadaan FELDA sendiri perlu membayar hutang balik kepada Kementerian Kewangan? Saya amat kesal apabila dalam bajet kali ini, isu FELDA juga tidak disentuh selain penggunaan tanah untuk plantation sahaja.
Tuan Yang di-Pertua seterusnya saya ingin bersuara berhubung dengan isu alam sekitar. Pertama apa yang mendukacitakan kita adalah bajet kali ini tidak guna pakai belanjawan hijau iaitu green budget secara menyeluruh bagi memastikan negara mencapai ekonomi yang mampan – alam sekitar dan serius berhadapan perubahan iklim.
Perubahan iklim bukan isu yang kecil tetapi ia merupakan sesuatu isu yang besar yang memerlukan keseriusan kerajaan yang ada pada hari ini. Melihat saban tahun banyak bencana alam yang berlaku dalam negara kita termasuklah sama ada tanah runtuh, banjir puing, banjir kilat, banjir yang berlaku di negara kita.
Pada hari ini beberapa negeri yang terlibat. Jerebu dan pembakaran yang bukan sahaja merencatkan ekonomi negara, malah meragut nyawa rakyat kita. Sehubungan dengan itu, saya menggesa agar kerajaan membentangkan Akta Perubahan Iklim dengan kadar segera bagi membuktikan komitmen kerajaan menangani isu perubahan iklim yang sedang berlaku pada hari ini.
Kedua, dalam isu alam sekitar iaitu panel solar. Sudah tiba masanya Malaysia lebih proaktif dan ke hadapan dalam penggunaan tenaga solar demi menyelesaikan polemik isu pemanasan global yang semakin mengancam kehidupan manusia pada hari ini. Salah satu jalan keluar menghadapi krisis tenaga bahan api ini yang semakin berkurangan selain berhadapan dengan tarif elektrik yang semakin melambung tinggi,
Tuan Che Alias bin Hamid - Kemaman
Malaysia merupakan antara negara yang berpotensi untuk pemasangan panel solar bagi menjana tenaga elektrik. Amat rugi sekiranya negara kita melepaskan peluang yang ada ini. Saya cadangkan kerjasama dengan pelbagai institusi seperti sektor perbankan dan koperasi, perbadanan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) mahupun peringkat industri ditingkatkan untuk memperkasakan penggunaan solar sama ada di peringkat domestik.
Selain pemasangan panel solar yang perlu diperluaskan di pejabat-pejabat kementerian, tempat-tempat kemudahan kerajaan, pasar raya, hotel hatta rumah ibadat dan masjid sekalipun perlu diperhebatkan lagi konsep wakaf pemasangan panel solar yang ada ini. Saya melihat galakan penggunaan panel solar di kediaman persendirian juga perlu dipergiatkan. Inisiatif Pemeteran Tenaga Bersih (NEM) yang ditubuhkan sejak tahun 2016 sehingga kini NEM 3.0 mendapat galakan daripada pelbagai lapisan golongan yang ada. Saya melihat dalam bajet pada kali ini tidak dinyatakan secara khusus iaitu penambahan peruntukan untuk inisiatif NEM 3.0 ini.
Isu lain yang saya ingin bangkitkan berkaitan langkah-langkah proaktif yang diambil oleh kerajaan dalam menggalakkan rakyat menggunakan panel solar di kediaman yang ada, ada yang mengeluh dengan kos pemasangan panel solar yang masih tinggi walaupun inisiatif NEM 3.0 diperkenalkan. Saya menyambut baik bank di negara kita seperti Bank Rakyat yang telah bekerjasama dengan syarikat pembekal panel solar bagi memudahkan urusan pemasangan panel solar di kediaman. Namun begitu dengan inflasi yang dihadapi oleh negara pada hari ini dan kos sara hidup yang tinggi, tidak mungkin rakyat mampu untuk menambahkan beban hutang dengan membuat pinjaman di bank untuk pemasangan panel solar ini. Oleh itu, wajar sekiranya kerajaan mewujudkan subsidi pemasangan panel solar di kediaman pada masa yang akan datang ini.
Seterusnya, Tuan Yang di-Pertua saya ingin menyentuh berhubung dengan keterjaminan makanan. Dalam inti pati Belanjawan 2023, kerajaan telah memperuntukkan hampir RM20 bilion yang termasuk Projek Jaminan Sekuriti Makanan yang antaranya melalui pelaburan di dalam Projek Sekuriti Makanan sebanyak RM1.3 bilion. Selain itu, kerajaan juga bercadang untuk meneruskan Projek Community Drumming sebanyak RM225 juta yang membantu menampung kos logistik di luar bandar, pengurusan teknologi tepat dan kelestarian pertanian.
Tuan Che Alias bin Hamid - Kemaman
Namun, di sini seolah-olah masih tidak jelas realiti keutamaan kerajaan terhadap langkah untuk meningkatkan keupayaan sara diri (SSL) bagi bidang ternakan untuk keperluan domestik dan kita mempersoalkan sejauh manakah persediaan kerajaan bagi menghadapi kebarangkalian krisis ekonomi yang dijangkakan berlaku pada masa yang akan datang ini.
Saya mencadangkan agar bank makanan di peringkat negeri mahupun negara perlu dibangunkan secara holistik, bukan sahaja membantu pertumbuhan ekonomi negara, malah memastikan rakyat mendapat bekalan yang mencukupi dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang ini. Sekurang-kurangnya, negara kita ada stok makanan yang boleh bertahan lama ketika berhadapan dengan sebarang krisis yang berlaku pada hari ini.
Seterusnya yang terakhir Tuan Yang di-Pertua, saya ingin menyentuh berkaitan dengan peruntukan kepada negeri-negeri yang kurang membangun seperti Kelantan, Terengganu, Kedah, Perlis, Sabah dan Sarawak yang tidak dinyatakan secara terperinci dalam bajet pada kali ini.
Banyak projek mahupun inisiatif yang ditawarkan oleh Kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini dipotong peruntukan dan ada dihapuskan terus. Ini mewujudkan pembangunan yang tidak seimbang dan jurang sosioekonomi yang tinggi antara kerajaan negeri yang maju dengan negeri yang tidak maju. Oleh sebab itulah, saya amat kesal dengan kerajaan yang ada pada hari ini yang langsung tidak menghormati apatah lagi mengamalkan konsep federalisme. Sepatutnya bajet yang dibentangkan pada hari ini lebih menyeluruh secara adil dan efisien tanpa mengira negeri pembangkang mahupun negeri yang di pihak kerajaan.
Tuan Che Alias bin Hamid - Kemaman
Kefahaman politik yang salah itu perlulah dihentikan segera kerana kerajaan pada hari ini kita melihat sepatutnya melakukan reformasi ke arah lebih baik bagi merancakkan ekonomi antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri yang ada pada hari ini dengan melakukan perbincangan ataupun libat urus antara kedua-dua pihak, antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan bersama-sama demi kesejahteraan rakyat di negeri masing-masing. Bukan mencampuri kuasa kerajaan negeri, menafikan hak kerajaan negeri dan mewujudkan pertindihan kuasa sehingga merugikan banyak perkara.
Terakhir Tuan Yang di-Pertua, saya ingin menyentuh kerana ramai dalam kalangan rakan-rakan dari Terengganu menyentuh isu royalti Terengganu.
Tuan Yang di-Pertua
Yang Berhormat Kemaman.
Tuan Che Alias bin Hamid - Kemaman
Untuk mendapat bayaran daripada hasil petroleum yang diambil dari perairan Terengganu. Tidak kisah sama ada apa sahaja nama yang diberi, sama ada royaltinya, sama ada wang ihsan, wang tunai petroleum atau pun dana khas Kerajaan Persekutuan, tetapi saya mengharapkan hak rakyat Terengganu dapat dijelaskan, dapat dibayar dan dapat ditunaikan mengikut masa yang telah ditetapkan.
Saya rasa tidak adil kerajaan hari ini menyatakan bahawa Kelantan dan Terengganu tidak layak menerima hasil petroleum sebanyak lima peratus kerana kedudukan medan pengeluaran adalah terletak di luar tiga batu nautika dari garis air surut wilayah kedua-kedua negeri sama ada Terengganu mahupun Kelantan. Sedangkan Akta Laut itu yang dibuat pada tahun 2012 dan untuk makluman Dewan, bahawa waktu perjanjian petroleum...
Tuan Yang di-Pertua
Yang Berhormat Kemaman, Yang Berhormat Kemaman ambil masa kawan sudah.
Tuan Che Alias bin Hamid - Kemaman
...petroleum 1975...
Tuan Yang di-Pertua
Tolong habiskan.
Tuan Che Alias bin Hamid - Kemaman
...dibuat dahulu antara negeri langsung tidak menyebut iaitu menyentuh dan memasukkan isu tiga batu nautika. Oleh itu, Tuan Yang di-Pertua saya ingin menyatakan bahawa...
Tuan Mohd Sany bin Hamzan - Hulu Langat
Yang Berhormat Kemaman, ketua parti.
Tuan Che Alias bin Hamid - Kemaman
...wang ihsan ini – royalti ini telah pun diberikan kepada Terengganu sejak 1978 lagi sehinggalah terakhir pada tahun lepas kita mendapat peruntukan yang diberi ini. Oleh itu, saya harapkan supaya ia dapat dilaksanakan sepertimana janji Yang Amat Berhormat Tambun iaitu untuk memberi dana – royalti apabila dapat kuasa dan kita ingat bahawa Allah SWT beritahu... [Membaca sepotong ayat Al-Quran]. “Wahai orang yang beriman, kenapa kamu berkata, bercakap tetapi kamu tidak buat, amat besar kemurkaan Allah bagi orang yang bercakap tetapi tidak melaksanakan tuntutannya”. Wallahualam. Sekian, terima kasih
Tuan Yang di-Pertua
Saya jemput Yang Berhormat Klang.
Tuan Ganabatirau a/l Veraman - Klang
Terima kasih, Tuan Yang di-Pertua.
Tuan Yang di-Pertua
Silakan.
Tuan Ganabatirau a/l Veraman - Klang
Negeri Selangor adalah antara penyumbang terbesar KDNK negara. Saya dari Klang, kawasan yang mempunyai tiga buah pelabuhan utama dalam Malaysia. Pendapatan daripada Klang adalah sangat besar kepada negeri dan juga negara.
Tuan Ganabatirau a/l Veraman - Klang
Apa yang sangat membimbangkan, apabila kita nampak sekarang Klang akan – Majlis Perbandaran Klang dikategorikan untuk dijadikan sebagai Majlis Bandaraya Klang, sudah ada kelulusan dasar daripada KPKT dan juga negeri.
Akan tetapi bagaimanapun, apa yang kita gusarkan, daripada penduduk Klang, adakah jalan-jalannya setimpal dengan kemajuan yang dikatakan sebagai bandar raya?
Ataupun parit-parit mereka, kita nampak, disebabkan ada pelabuhan yang besar, trafik di situ dengan kegunaan kenderaan berat yang begitu banyak sekali. Namun, kualiti jalan di sana amatlah rendah. Sentiasa rosak, sentiasa ada lopak air dan kematian penunggang motosikal adalah yang tertinggi di kawasan Klang.
Saya percaya JKR dan juga JPS patut memberikan tumpuan utama dalam hal ini.
Memandangkan, bukan setakat sahaja, kawasan ini apabila dikatakan sebagai bandar raya, kita sedar melebihi satu juta orang penduduk mesti ada di situ, baru boleh digelar sebagai bandar raya. Maka Klang antara bandar yang vibrant, yang patut telah menyumbang, tetapi adakah kerajaan sebelum ini – Putrajaya – 15 tahun telah anak tirikan Kerajaan Negeri Selangor. Saya harap bajet ini diberi tumpuan khusus kepada negeri Selangor, khasnya di kawasan Klang.
Tuan Yang di-Pertua, satu isu lagi ialah isu peniaga warga asing. Di kawasan seperti Pasar Besar Meru, kini telah dimonopoli oleh warga asing. Peniaga-peniaga adalah sebenarnya kita nampak rata-ratanya – Parking semua telah dipenuhi oleh warga Rohingya. Kalau tunggu masa, “Selayang 2” in the making, in Meru, Klang. Saya tidak nampak KDN mahupun majlis, mahupun KPKT, mana-mana agensi turun padang untuk menyelesaikan perkara ini. Rakyat sedar, ramai yang menunggu untuk peluang perniagaan, tetapi warga asing bukan setakat hendak bekerja, tetapi mereka jadi tauke [Tepuk] . Sampai bilakah kita hendak bertoleransi? Sampai bila, I tidak tahu. I harap KDN akan ambil tindakan tegas kepada mana-mana pihak. Dalam pada itu juga, saya harap MACC sendiri turun, sekiranya ada salah guna kuasa daripada mana-mana agensi, tolong ambil tindakan. Dalam pada itu juga Tuan Yang di-Pertua, seperti mana tadi saya kata, tentang jalan dan juga longkang, perlu diambil kira, sentiasa kita ada – Apabila diberitahu ini Jalan Persekutuan, ini jalan negeri, ini jalan majlis, rakyat tidak tahu. Air hujan dia tidak tahu mana satu longkang hendak jalan. Ini sebab agensi antara jalan mahupun parit sentiasa mereka berdolak-dalik. Wakil rakyat, kita pula akan menjadi tempat punching bag oleh rakyat nanti.
Sampai bilakah? Patut ada koordinasi antara agensi-agensi berkaitan, pegawai- pegawai yang berkaitan. Bukan untuk urusan sebagai Ahli Parlimen mahupun wakil rakyat kawasan. Kita panggil semua agensi duduk dan berbincang. Sampai bilakah kita hendak meng-educate-kan mereka ini? Sepatutnya mereka sedar tugas-tugas mereka. Saya harap KPKT bersama dengan agensi seperti JKR, JPS dan juga pihak berkuasa tempatan
(PBT) dapat duduk bersama dan menyelesaikan perkara-perkara ini.
Apabila berlaku satu isu, patut mereka repair dan claim kemudian, bukan tolak dan berdolak-dalik begitu. Itu antara isu yang saya hendak bangkitkan. Seperti mana saya nyatakan, Klang hendak jadi bandar raya.
Tuan Ganabatirau a/l Veraman - Klang
Hospital Klang, Tuan Yang di-Pertua, kalau mana-mana orang datang melawat, dia akan macam nampak dunia ketiga. Hospital kalau kita katil masuk dalam, tempat jalan kaki sudah penuh dengan katil. Hendak tunggu masa begitu lama, parking tidak ada.
Memang ini isu yang dibangkitkan begitu lama. Akan tetapi, di Klang, masyarakat penduduk bertambah dan tambah dan tambah, hospital kita tengok masa menunggu terlalu lama bagi rakyat dan kita nampak kakitangan tidak cukup. Kita nampak wad tidak cukup, katil tidak cukup dan akhirnya ada cadangan untuk hendak bina satu lagi hospital di Kapar.
Kerajaan negeri telah pun mewartakan tapak tersebut. Sehingga hari ini, tidak ada kemajuan. Sebelum ini, seperti apa yang saya katakan, anaktirikan negeri Selangor.
Maklumlah. Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, saya harap sayang dengan Selangor akan ada nanti peruntukan khas untuk membina Hospital Kapar.
Tuan Ganabatirau a/l Veraman - Klang
Tuan Yang di-Pertua, Klang juga ada kawasan yang mana dikatakan Bandar Bukit Klang. Kita ada juga Bandar Bukit Raja yang mana rata-ratanya adalah bandar yang paling canggih, paling dirancang dengan begitu baik tetapi banjir juga. Saya tidak tahu bagaimana Bandar Botanic, Bandar Ambang Botanic, bandar seperti Bandar Bukit Raja yang mana menelan bilion projek itu tetapi banjir. Adakah perancang kita tidak begitu mendapat pendidikan? Adakah JPS atau JKR— ini semua kena siasat. Kita tidak boleh kata setiap kali kata “This is act of God”. Enough, dengan izin Tuan Yang di-Pertua.
Setiap kali kita kata ini ialah, “Oh, Tuhan tolong, hujan yang lebat, tolong”. Saya percaya di mana ada masalah-masalah yang patut dihalusi, kita patut disiasat. Kalau ada masalah daripada segi mana-mana agensi atau pegawai terlibat, patut diberi tindakan segera patut diambil.
Tuan Yang di-Pertua, di Bukit Raja di Parlimen Klang, Bandar Bukit Raja telah dibangunkan sudah hampir 20 tahun. Lebih daripada 20,000 rumah ada di situ. Ada tujuh tapak sekolah yang ada sampai hari ini tidak ada rancangan untuk membina mana-mana sekolah di kawasan Bukit Raja. Sedangkan kita nampak penduduk yang paling banyak duduk di Bukit Raja, mereka hantar anak ke kawasan Bandar Klang, pergi ke Klang Utama, pergi ke Kapar, pergi ke Meru tetapi kawasan sendiri ada tujuh tapak tetapi tidak ada perancangan.
Akan tetapi, saya dengar baru-baru ini ada rancangan untuk membina sekolah tambahan ataupun sekolah menengah di kawasan Meru sedangkan penduduk yang ramai adalah duduk di kawasan Bukit Raja. Saya percaya ini adalah antara strategi daripada pihak kerajaan yang dahulu sebelum kita, mereka hendak membawa kepada kepentingan masing-masing atas politik sudah rancang begitu. Kita tidak boleh semata-mata kata ini perancangan daripada PPD, ini perancangan daripada sini dan sana sebab kita tahu dari dahulu lagi kita telah dianaktirikan.
Kita kena akui, seperti mana saya kata di Kota Kemuning di mana saya juga adalah ADUN Kota Kemuning, di DUN Kota Kemuning semenjak 2002 lagi banyak permintaan untuk sekolah tambahan, Sekolah Menengah Kota Kemuning. Tahun 2012 kita telah menulis kepada Kementerian Pendidikan ketika itu, masa itu ialah Yang Berhormat Pagoh adalah Menteri Pendidikan ketika itu. Banyak juga pegawai-pegawai telah datang dan pergi. Kita nampak pada tahun 2018 iaitu sebelum GE14, Menteri Pendidikan telah turun membuat majlis pecah tanah untuk Sekolah Menengah Kota Kemuning 2.
Oleh sebab apa? Mereka sedar Kota Kemuning ini hanya satu SMK sahaja. Ia membantu kepada kawasan seperti Kemuning Utama, Bukit Rimau, Kampung Bukit Naga, kawasan Lembayung, kawasan yang mana dikatakan seperti pembangunan yang besar seperti Bukit Kemuning. Semua anak-anak belajar di kawasan di mana adalah kawasan Kota Kemuning. Rimbayu...
Tuan Mohd Sany bin Hamzan - Hulu Langat
Yang Berhormat Klang, boleh sedikit, Yang Berhormat Klang?
Tuan Ganabatirau a/l Veraman - Klang
Ya, ya, bantu.
Tuan Mohd Sany bin Hamzan - Hulu Langat
Tadi saya tertarik dengan apa yang disebutkan oleh Yang Berhormat Klang yang mana Yang Berhormat Klang menyatakan bahawa Selangor ini adalah merupakan negeri yang menyumbang hampir 25 percent KDNK dalam negara kita. Contohnya, kalau dalam poket saya ini ada RM1, maksudnya 25 sen itu datangnya daripada negeri Selangor. Akan tetapi, malangnya, apa yang menyebabkan Kerajaan Selangor ini dianaktirikan oleh Kerajaan Persekutuan dahulu? Sila jawapan daripada Yang Berhormat Klang.
Tuan Ganabatirau a/l Veraman - Klang
Terima kasih, saudara seperjuangan saya, Yang Berhormat Hulu Langat. Kita sedar itulah dia kalau tadi kita dengar di sebelah sana dia kata kita dengkilah, kita hendak buat macam-macamlah cerita samalah seperti yang mana semua sedia maklum, sebenarnya dahulu PAS adalah bersama dengan kita, tahun 2008. Kita telah dianaktirikan, kita di— macam-macamlah I nak cakap tetapi tidak ada...
Tuan Sanisvara Nethaji Rayer a/l Rajaji - Jelutong
Yang Berhormat Klang, Yang Berhormat Klang.
Datuk Dr. Mohd Radzi bin Md. Jidin - Putrajaya
Tuan Yang di-Pertua, boleh sedikit laluan?
Tuan Sanisvara Nethaji Rayer a/l Rajaji - Jelutong
Yang Berhormat Klang, Yang Berhormat Klang.
Tuan Ganabatirau a/l Veraman - Klang
Saya kena pergi SMK ini. Kalau tambah masa, boleh. Saya tidak ada tambah masa. SMK 2 ini. Sekolah Menengah Kota Kemuning 2 ini pada tahun 2018, majlis pecah tanah telah dilakukan. Kita semua tahu.
Malahan, tahun 2018 apabila kita jadi kerajaan di Putrajaya, saya telah dibawa oleh Menteri Besar kita berjumpa dalam perbincangan hala tuju kerajaan di mana Kerajaan Pusat punya projek utama. Projek utama nombor satu adalah SMK Kota Kemuning 2 adalah projek utama.
Tuan Yang di-Pertua
Yang Berhormat Klang, saya hendak bagi injury time.
Berapa minit diperlukan?
Tuan Ganabatirau a/l Veraman - Klang
Dua minit.
Tuan Yang di-Pertua
Dua minit. Okey, dua minit dari sekarang.
Tuan Ganabatirau a/l Veraman - Klang
Terima kasih, terima kasih, Tuan Yang di-Pertua. Maka, itu sekolah telah diutamakan masa perancangan pada tahun 2018 lagi.
Akan tetapi, saya baru-baru ini dengar tiba-tiba ada sekolah baru yang dibina adalah bersebelahan dengan DUN saya di kawasan Jalan Kebun pula sedangkan kita tengok semua yang datang sini sekolah yang sedia ada sudah ada 3,600 murid. Sebenarnya kapasiti sekolah yang dibina itu adalah 1,500 sahaja. Saya tidak tahu bagaimana pegawai PPD atau mana satu pegawai yang telah putar belitkan fakta.
Tuan Yang di-Pertua, saya percaya saya amat menghormati segala keputusan daripada kementerian-kementerian masing-masing. Akan tetapi, kita perlu sedar segala keputusan berdasarkan kepada pegawai ataupun agensi adalah telah disediakan pada tahun yang lalu ataupun sebelumnya yang mana kerajaan adalah tidak seiring dengan Kerajaan Negeri Selangor. Maka, saya harap sangat SMK Kota Kemuning 2 patut kita bina.
Dalam pada itu juga, Tuan Yang di-Pertua, seperti mana isu-isu yang telah saya bangkitkan seperti hospital, seperti mana peniaga warga asing, seperti mana yang saya telah menyatakan tentang JKR dan JPS, tolong, saya patut dapat ulasan ataupun jawapan daripada kementerian. Sebab apa, sebelum ini perbahasan saya, ucapan saya, saya tidak dapat jawapan yang sepenuhnya. Sekian, terima kasih. Klang menyokong.
Tuan Yang di-Pertua
Terima kasih, Yang Berhormat Klang.
Datuk Che Mohamad Zulkifly bin Jusoh - Besut
Yang Berhormat Hulu Langat, tanda hendak kalah itu Selangor.
Tuan Yang di-Pertua
Ahli-ahli Yang Berhormat, Mesyuarat Dewan hari ini ditangguhkan hingga jam 10.00 pagi, hari Selasa...
Tuan Mohd Sany bin Hamzan - Hulu Langat
Jangan tebuk atap.
Tuan Yang di-Pertua
Siapa tadi?
Beberapa Ahli
Yang Berhormat Hulu Langat, Yang Berhormat Hulu Langat.
Tuan Yang di-Pertua
Ahli-ahli Yang Berhormat, Mesyuarat Dewan hari ini ditangguhkan hingga jam 10.00 pagi, hari Selasa, 7 Mac 2023. Terima kasih.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
[Dewan ditangguhkan pada pukul 9.07 malam]