Katalog Hansard
[Timbalan Yang di-Pertua (Puan Alice Lau Kiong Yieng) **mempengerusikan Mesyuarat****]
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Saya menjemput Tuan Khoo Poay Tiong, Kota Melaka.
1. Tuan Khoo Poay Tiong [Kota Melaka] minta Menteri Komunikasi dan Digital menyatakan, penjelasan mengenai Mandatory Standard on Access Pricing (MSAP) baharu yang mula berkuat kuasa pada 1 Mac 2023, dan apa kesannya terhadap sektor telekomunikasi dan para pengguna di Malaysia daripada segi mutu perkhidmatan.
Menteri Komunikasi dan Digital - Tuan Ahmad Fahmi bin Mohamed Fadzil
Terima kasih Yang Berhormat, terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Standard mandatori mengenai harga capaian, dengan izin, Mandatory Standard on Access Pricing (MSAP) merupakan salah satu instrumen perundangan yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi mengawal selia harga capaian di peringkat borong ataupun, dengan izin, wholesale untuk memberi perkhidmatan capaian.
Melalui MSAP baharu yang mula berkuat kuasa pada 1 Mac 2023, harga capaian maksimum telah ditetapkan bagi 14 kemudahan dan perkhidmatan yang disenaraikan untuk tempoh sehingga 2025. Dengan pelaksanaan MSAP baharu tersebut, pemberi perkhidmatan capaian perlu menyediakan kemudahan dan perkhidmatan yang disenaraikan dengan harga maksimum baharu kepada penerima perkhidmatan capaian sepertimana yang ditetapkan oleh SKMM.
Satu kertas siasatan awam mengenai MSAP telah dikeluarkan oleh SKMM pada 5 Oktober 2022 sehingga 17 Januari 2023 bagi mendapatkan cadangan dan maklum balas daripada pemain industri dan orang awam mengenai kaedah pelaksanaan MSAP yang akan dibuat. Sebanyak 16 maklum balas telah diterima daripada pemegang taruh yang berkaitan termasuklah Celcom, Digi, Telekom Malaysia Berhad dan Digital National Berhad.
Kesemua maklum balas tersebut telah dikaji dan dipertimbangkan oleh SKMM dalam menentukan kaedah pelaksanaan MSAP. Secara umumnya harga yang ditetapkan di dalam MSAP yang baharu adalah lebih rendah berbanding dengan MSAP sebelum ini.
Sebagai contoh, harga untuk perkhidmatan borong jalur lebar berkelajuan tinggi ataupun, dengan izin, high-speed broadband untuk kelajuan 100 Mbps di dalam MSAP baharu untuk tahun 2023 adalah RM254.64 sebulan berbanding dengan harga RM515 sebulan sebelum ini.
Oleh yang demikian, ia dapat mengurangkan kos kepada penerima perkhidmatan capaian yang terlibat dalam menyediakan perkhidmatan jalur lebar tetap kepada pengguna. Secara tidak langsung perkhidmatan yang diberikan kepada pengguna di
Menteri Komunikasi dan Digital - Tuan Ahmad Fahmi bin Mohamed Fadzil
peringkat runcit ataupun retail boleh ditawarkan dengan harga yang lebih rendah dan berdaya saing atau pada kelajuan yang lebih tinggi. Daripada segi mutu perkhidmatan, SKMM menggunakan instrumen lain untuk membuat kawal selia, antaranya melalui Mandatory Standard Quality of Service (MSQoS) dan pelaksanaan audit berkala terhadap syarikat penyedia perkhidmatan. Sekian, terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Yang Berhormat Kota Melaka.
Tuan Khoo Poay Tiong - Kota Melaka
Tuan Yang di-Pertua, soalan tambahan saya.
Pertama sekali saya ingin mengucapkan tahniah kepada Yang Berhormat Menteri dan juga kementerian yang telah melaksanakan MSAP yang baharu ini. Sudah pasti ia akan membawa manfaat kepada pengguna dan kerana peningkatan persaingan antara syarikat yang menyediakan perkhidmatan internet ini. Kita masih ingat pada tahun 2018, apabila Pakatan Harapan menjadi kerajaan, mantan Menteri iaitu Yang Berhormat Damansara, telah melaksanakan, “half the price, double the speed”. Jadi, hari ini kita menuju ke arah yang lagi satu. Ini menunjukkan satu Malaysia Madani.
Saya hendak tanya kepada Yang Berhormat Menteri tentang Telekom Malaysia.
Apabila pengumuman MSAP ini diumumkan, kita boleh lihat reaksi daripada pasaran saham di mana harga Yang Berhormat Timbalan Menteri telah turun kerana mereka kata, dengan adanya penurunan kos wholesale, ini akan menjejaskan prestasi Yang Berhormat Timbalan Menteri ini.
Saya hendak bertanya kepada Yang Berhormat Menteri, apa kesan jangka masa panjang daripada pelaksanaan MSAP yang baharu ini terhadap syarikat telekomunikasi, terutama mereka yang telah melabur banyak untuk menyediakan infrastruktur fiber semua.
Jadi, bagaimana ini akan menjejaskan mereka dan apa kesan jangka masa panjang untuk kita memastikan, kita dapat capai sasaran kita untuk menuju ke arah digitalized ini. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Tuan Ahmad Fahmi bin Mohamed Fadzil
Terima kasih Yang Berhormat Kota Melaka, terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Berhubung persoalan yang dibangkitkan tadi, khusus angka ataupun maklumat yang saya ada, khusus mengenai Telekom Malaysia, saya telah mengadakan siri pertemuan dengan pengurusan tertinggi termasuk Lembaga Pengarah daripada Telekom Malaysia dan memang, kalau kita lihat, kita buat perbandingan dari tahun 2017 sehinggalah ke hari ini, pada tahun 2017 sebagai satu kumpulan- as a group, dengan izin, keuntungan bersih pada tahun 2017 bagi TM iaitu RM730.5 juta.
Tuan Ahmad Fahmi bin Mohamed Fadzil
Pada tahun 2018, setelah mula MSAP pada waktu itu dilaksanakan, memang daripada segi keuntungan, mereka melihat keuntungan negatif ataupun kerugian sebanyak RM260.5 juta. Akan tetapi dengan izin, they were able to bounce back setahun selepas itu dengan merekodkan keuntungan bersih pada tahun 2019 sebanyak RM557.4 juta dan trend itu terus meningkat sehinggalah kepada 28 Februari yang lalu di mana pengumuman daripada pengurusan Telekom Malaysia, membuat pengumuman bahawa mereka telah mencatatkan keuntungan bersih RM1.14 bilion bagi tahun lalu.
Jadi ini Tuan Yang di-Pertua, menunjukkan bahawasanya semangat Malaysia Boleh itu memang wujud dalam Telekom Malaysia. Walaupun diberi cabaran, tetapi mereka mampu bangkit semula. Saya percaya sekiranya Telekom Malaysia boleh mencatatkan pada tahun awal sedikit kerugian, tetapi manfaatnya kepada rakyat dan realitinya mereka berjaya kembali semula dan ini bagi saya adalah satu teladan bagi kita sebagai sebuah negara juga. Jadi insya-Allah, saya percaya walaupun ada kesan tetapi saya difahamkan setakat hari ini, daripada semua penganalisis, trendnya masih untuk saham TM, is still a buy dengan izin. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Saya jemput Yang Berhormat Pasir Mas.
Tuan Haji Ahmad Fadhli bin Shaari - Pasir Mas
Terima kasih Tuan Yang di- Pertua. Saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan takziah kepada mangsa- mangsa banjir di Johor dan saya percaya kerajaan sedang melakukan yang terbaik untuk bertindak di Johor, insya-Allah. Terima kasih Yang Berhormat Menteri atas jawapan tadi.
Saya rasa cukup bangga dengan kesungguhan komitmen yang dilakukan oleh Yang Berhormat Menteri untuk memastikan MSAP ini dapat dilaksanakan dengan baik.
Cuma kalau kita perhatikan bahawa di Malaysia pada hari ini, saya memetik kajian daripada satu badan UCLA yang dilakukan 102 buah negara, Malaysia jauh lebih ketinggalan berbanding dengan Kemboja dan Vietnam. Kita lebih perlahan daripada sudut perkhidmatan internetnya.
Jadi bila bercakap tentang internet ini, bilakah kerajaan dapat memuktamadkan perkhidmatan 5G dapat dilaksanakan meliputi lebih 50 peratuslah, let’s say di kawasan di seluruh Malaysia? Juga, adakah kerajaan boleh memastikan bahawa penyedia perkhidmatan ini dapat menyediakan perkhidmatan di tempat-tempat yang tidak memberikan keuntungan kepada mereka? Saya ambil contoh kawasan saya di Pasir Mas, penduduknya sedikit...
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Ringkaskan soalan.
Tuan Haji Ahmad Fadhli bin Shaari - Pasir Mas
Mungkin ia tidak memberikan banyak keuntungan kepada penyedia perkhidmatan. Setakat mana kerajaan boleh melakukan paksaan? Terima kasih.
Tuan Ahmad Fahmi bin Mohamed Fadzil
Terima kasih Yang Berhormat Pasir Mas, terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Walaupun soalan hari ini berkait dengan Mandatory Standard on Access Pricing (MSAP), tetapi saya jawab juga soalan khusus berkait mutu perkhidmatan internet. Dia ada dua jenis, Yang Berhormat. Satu, sama ada internet mudah alih ataupun mobile internet ataupun internet jalur lebar talian tetap (fixed line broadband). Bagi MSAP yang kita sebutkan hari ini, dia lebih menjurus kepada fixed line broadband ataupun high-speed broadband.
Akan tetapi untuk makluman Yang Berhormat, seperti yang ada diumumkan oleh SKMM dan juga Digital Nasional Berhad, memang daripada segi capaian bagi 5G setakat ini untuk kawasan berpenduduk ataupun coverage for populated areas telah mencapai 50 peratus. Sasaran kita menjelang hujung tahun, mampu mencapai 80 peratus kawasan berpenduduk.
Akan tetapi tidak setakat itu, ia perlu lebih daripada itu. Ini kerana untuk makluman semua, coverage itu hanya merujuk kepada sama ada, ada menara ataupun tak ada menara di situ. Kalau dalam bangunan sebagai contoh, in-building coverage, itu menjadi penanda aras.
Kalau kita sebagai contoh Tuan Yang di-Pertua, di Dewan yang mulia ini, kalau sebelum pembentangan belanjawan tempoh hari, saya telah bertemu dengan Ketua Pentadbir Parlimen serta rakan-rakan media di pusat media di bawah dan mereka menyatakan masalah internet di situ. Kawasan ini ada coverage, tetapi isunya access point (AP).
Maka, itulah sebabnya mengapa pada insya-Allah, 6 dan 7 Mac yakni Isnin dan Selasa depan, saya alu-alukan dan saya jemput semua Ahli Parlimen untuk datang bawakan masalah anda di kawasan masing-masing dengan keutamaan nyatakan lokasi, apakah masalahnya, siapakah person in charge (PIC) yang boleh dihubungi oleh pihak SKMM dan kita akan buka kaunter pada dua hari tersebut. Insya-Allah isu-isu yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat-Yang Berhormat akan kita tangani segera, termasuklah kawan-kawan dari Sabah, Sarawak dan juga Pasir Mas semestinya. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Saya jemput Tuan Haji Muhammad Islahuddin bin Abas, Mersing.
Tuan Haji Muhammad Islahuddin bin Abas - Mersing
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Pertamanya, saya mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan takziah kepada semua keluarga mangsa banjir di Mersing dan terima kasih kepada semua petugas.
2. Tuan Haji Muhammad Islahuddin bin Abas [Mersing] minta Menteri Pendidikan Tinggi menyatakan susulan daripada keputusan kerajaan untuk tidak memansuhkan AUKU seperti yang diumumkan baru-baru ini, adakah kerajaan akan meneruskan amalan lantikan naib canselor oleh Menteri dan tidak sebaliknya memberi autonomi kepada warga universiti sendiri untuk mengundi naib canselor mereka.
Menteri Pendidikan Tinggi - Datuk Seri Haji Mohamed Khaled bin Nordin
Tuan Yang di-Pertua, terima kasih kepada Yang Berhormat Mersing. Memandangkan kerajaan tiada cadangan memansuhkan AUKU 1971, maka amalan sedia ada berkaitan lantikan naib canselor universiti awam akan diteruskan seperti sebelumnya iaitu pelantikan naib canselor sesebuah universiti awam dilakukan oleh Yang Berhormat Menteri dengan mengikut prosedur dan ketetapan akta yang diluluskan oleh Parlimen dan aktanya ialah akta AUKU 1971.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Yang Berhormat Mersing.
Tuan Haji Muhammad Islahuddin bin Abas - Mersing
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, terima kasih Yang Berhormat Menteri. Soalan tambahan saya adalah pindaan terhadap AUKU diyakini akan memperkasakan kesatuan mahasiswa, memberi lebih autonomi dalam kegiatan berpersatuan dan melancarkan urus tadbir universiti.
Soalannya, adakah kementerian akan memberi kelonggaran untuk pertubuhan parti politik menubuhkan cawangan mereka di kampus universiti bagi menyuburkan amalan demokrasi dan membudayakan amalan politik matang selaras dengan usaha reformasi pendidikan? Terima kasih.
Datuk Seri Haji Mohamed Khaled bin Nordin
Terima kasih Yang Berhormat Mersing. Seperti yang telah diumumkan, kita telah lakukan pelbagai pindaan kepada AUKU yang melibatkan soal kegiatan pelajar kepada soal urus tadbir universiti dan sebagainya. Memang kita memberi kebebasan kepada pelajar-pelajar untuk menyertai mana-mana parti politik sama ada di dalam ataupun di luar kampus termasuklah pelajar itu untuk menawarkan diri bertanding dalam pilihan raya. Jadi, semua perkara itu memang telah pun dilonggarkan dan kemungkinannya termasuk perkara-perkara yang dicadangkan oleh Yang Berhormat.
Dr. Kelvin Yii Lee Wuen - Bandar Kuching
Bandar Kuching.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Yang Berhormat Bandar Kuching.
Dr. Kelvin Yii Lee Wuen - Bandar Kuching
Okey. Terima kasih Yang Berhormat Menteri atas jawapan tersebut. Saya memang menyokong pindaan yang telah dilakukan kepada Seksyen 15 untuk memberikan sedikit kebebasan kepada pelajar.
Namun begitu, AUKU masih ada peruntukan yang masih menyekat kebebasan.
Contohnya Seksyen 15(B)(C)(D), Seksyen 16(B) dan juga Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta. Ada beberapa peruntukan yang menyekat kebebasan.
Saya tahu Yang Berhormat Menteri adalah seorang reformis dalam hati Yang Berhormat Menteri. Bolehkah kita bersama buat dialog yang mana kita boleh mengembangkan minda anak muda dan generasi pelapis masa depan? Terima kasih Yang Berhormat Menteri.
Datuk Seri Haji Mohamed Khaled bin Nordin
Terima kasih Yang Berhormat Bandar Kuching. Saya beri jaminan, apa-apa kelemahan yang ada dalam AUKU, kita boleh pertimbangkan untuk kita meminda. Antara perkara yang telah dan kita sedang pertimbangkan untuk dilakukan ialah meminda soal persatuan-persatuan pelajar untuk menguruskan sendiri akaun kewangannya. Jadi, itu dalam proses dan insya-Allah kita cuba bawa dalam penggal Parlimen yang akan datang.
Dato' Wira Dr. Ku Abd Rahman bin Ku Ismail - Kubang Pasu
Soalan tambahan Tuan Yang di-Pertua.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Saya jemput Yang Berhormat Puan Syerleena binti Abdul Rashid, Bukit Bendera.
3. Puan Syerleena binti Abdul Rashid [Bukit Bendera] minta Menteri Kesihatan menyatakan prestasi dalam melancarkan aktiviti dan program mencegah kanser serviks selaras dengan Pelan Tindakan ke Arah Penghapusan Kanser Serviks di Malaysia 2021- 2030. Apakah kesan (efficacy) Program Imunisasi Kebangsaan HPV setakat ini.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Ahli-ahli Yang Berhormat, saya menerima makluman bahawa Yang Berhormat Menteri Kesihatan mempunyai urusan kecemasan berikutan situasi banjir yang melanda di kawasan beliau.
Oleh yang demikian, beliau telah meminta agar Yang Berhormat Menteri Pendidikan untuk menjawab bagi pihak beliau semasa sesi ini.
Menteri Pendidikan - Puan Fadhlina binti Sidek
Tuan Yang di-Pertua, saya mohon izin untuk menjawab bagi pihak Yang Berhormat Menteri Kesihatan memandangkan beliau mempunyai hal kecemasan yang perlu diuruskan di kawasan beliau. Kita mendoakan kesejahteraan semua yang terlibat dengan mehnah dan tribulasi banjir ketika ini. Yang Berhormat Timbalan Menteri Kesihatan juga ada bersama saya untuk mencatat dan mengambil apa-apa isu yang berbangkit daripada isu yang akan saya jawab bagi pihak Menteri Kesihatan pada pagi ini.
Tuan Yang di-Pertua, Kementerian Kesihatan Malaysia telah memperkenalkan Pelan Tindakan ke Arah Penghapusan Kanser Serviks di Malaysia 2021-2030 yang berasaskan Global Strategy to Accelerate the Elimination of Cervical Cancer as a Public Health Problem yang dibangunkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia. Justeru, KKM berusaha untuk memastikan iaitu:
(i) 90 peratus liputan vaksinasi HPV bagi kanak-kanak perempuan sebelum mereka berumur 15 tahun;
(ii) 70 peratus liputan saringan dengan menggunakan kaedah terkini yang terbukti berkesan secara saintifik terhadap wanita yang berusia 35 dan 45 tahun sekurang-kurangnya dua kali seumur hidup; dan
(iii) 90 peratus wanita yang positif mendapat intervensi dan rawatan awal bagi prakanser.
Pelan tindakan ini adalah merupakan satu kerangka kerja yang merangkumi matlamat dan sasaran penghapusan menjelang tahun 2030. Bagi menetapkan hala tuju pelan tindakan ini, terdapat lima keutamaan KKM iaitu:
(i) memperkukuh tadbir urus dan dasar;
(ii) memperkaya akses dan penyertaan;
(iii) meningkatkan penyampaian perkhidmatan;
(iv) memupuk kerjasama antara sektor; dan
(v) pemantauan, penilaian dan penyelidikan.
Sehingga kini terdapat beberapa pencapaian pelan tindakan ini yang telah dicapai oleh KKM seperti berikut:
(i) pembentukan Jawatankuasa Pemandu Program Eliminasi Kanser Serviks Kebangsaan yang bertindak sebagai penasihat bagi menetapkan hala tuju Program Penghapusan Kanser Serviks Kebangsaan serta meluluskan keputusan dasar yang berkaitan dengan program yang dijalankan;
Menteri Pendidikan - Puan Fadhlina binti Sidek
(ii) peningkatan tahap literasi kesihatan rakyat berkenaan kepentingan saringan kanser serviks merupakan salah satu strategi untuk meningkatkan liputan saringan yang boleh dicapai melalui pembangunan Pelan Komunikasi Strategik; dan
(iii) memastikan wanita mendapat akses kepada ujian HPV melalui peluasan ujian saringan HPV ke semua negeri.
KKM turut menyasarkan peningkatan akses saringan ujian HPV kepada penerima PeKa B40. Perbincangan telah diadakan untuk menjalin kolaborasi bersama ProtectHealth Corporation Sdn. Bhd. bagi mencapai aspirasi tersebut. Jawatankuasa Garis Panduan Pengurusan Kanser Serviks kini berada pada peringkat akhir semakan semula Guideline for Cervical Cancer Screening in Malaysia (2nd Edition). Garis panduan ini melibatkan pengurusan saringan pap smear dan ujian saringan HPV.
Tuan Yang di-Pertua, sedikit lagi. Bagi memastikan kompetensi anggota kesihatan, latihan ujian saringan HPV dijalankan secara komprehensif kepada semua kakitangan kesihatan di setiap negeri setiap tahun. KPM juga berkolaborasi bersama Institut Penyelidikan Sistem Kesihatan, menjalankan penyelidikan yang bertajuk Cervical Cancer Screening: Simulation of Best Practices to Achieve the Target yang bertujuan untuk membuat unjuran saringan kanser serviks di Malaysia melalui model simulasi berdasarkan strategi-strategi saringan HPV yang dirangka.
Seterusnya, menempatkan tujuh peralatan colposcope di Hospital Umum Sarawak, Hospital Sibu, Hospital Klang, Hospital Kulim, Hospital Langkawi, Hospital Selayang dan Institut Kanser Negara dalam usaha untuk meningkatkan akses kepada pesakit yang dikesan HPV positif atau didapati memperoleh keputusan pap smear yang abnormal.
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, pada masa ini KKM mengekalkan polisi suntikan hanya kepada kanak-kanak perempuan yang berusia 13 tahun. Bagi wanita dewasa, pencegahan kanser serviks adalah melalui saringan sama ada melalui pap smear atau ujian saringan HPV. Selain itu, golongan wanita turut diberi pilihan untuk mengambil vaksinasi HPV di fasiliti kesihatan swasta di mana kesan vaksinasi bergantung kepada umur dan status pendedahan kepada aktiviti seksual. Terima kasih, Tuan Yang di-Pertua.
Puan Syerleena binti Abdul Rashid - Bukit Bendera
Soalan tambahan ya.
Terima kasih atas jawapan tersebut. Akan tetapi, saya ingin ambil peluang ini untuk menyoal ya. Memandangkan– saya hendak tahu jugalah berapakah jumlah bilangan pelajar perempuan yang disasarkan, yang bakal disuntik dalam masa tiga tahun yang akan datang sebagai satu orang kata catch-up strategy, dengan izin, memandangkan Program Vaksinasi Kebangsaan HPV ini telah tergendala semasa COVID-19.
Puan Fadhlina binti Sidek
Terima kasih, Yang Berhormat. Saya percaya soalan Yang Berhormat itu cukup signifikan dan saya beraku janji untuk menyampaikan soalan itu untuk dijawab secara bertulis. Terima kasih.
Puan Hajjah Salamiah binti Mohd Nor - Temerloh
Okey, soalan tambahan?
Terima kasih, Tuan Yang di-Pertua. Saya ingin tahu berapakah peratus wanita di Malaysia yang menyambut program ini? Apakah usaha-usaha yang dilakukan untuk memastikan wanita luar bandar menjayakan program ini? Terima kasih.
Puan Fadhlina binti Sidek
Terima kasih, Yang Berhormat. Saya juga beraku janji untuk soalan Yang Berhormat itu akan dijawab secara bertulis oleh Kementerian Kesihatan kemudian. Terima kasih Yang Berhormat.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Ahli-ahli Yang Berhormat, sekarang tamatlah sesi untuk Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri pada hari ini. Terima kasih Yang Berhormat.
[Sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri tamat]
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Saya jemput Yang Berhormat Tuan Syed Ibrahim bin Syed Noh, Ledang.
Tuan Syed Ibrahim bin Syed Noh - Ledang
Terima kasih, Tuan Yang di-Pertua.
Saya mohon izin untuk juga mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang Sarathkumar yang meninggal dunia semalam akibat banjir di Kluang. Di samping itu, saya juga mengambil kesempatan untuk mengucapkan simpati kepada mangsa banjir di Johor yang sudah lebih daripada 25,000 orang. Jadi, mudah-mudahan segala urusan mereka dipermudah dan Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri boleh sama-sama membantu. Soalan Ledang nombor satu.
1. Tuan Syed Ibrahim bin Syed Noh [Ledang] minta Menteri Pengangkutan menyatakan punca dan penyelesaian yang akan diambil berkenaan isu bahaya kemalangan jalan raya dan kematian akibat nahas yang lebih besar berbanding kes COVID-19.
Timbalan Menteri Pengangkutan - Datuk Haji Hasbi bin Habibollah
Bismillahi Rahmani Rahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua dan terima kasih Yang Berhormat Ledang.
Kajian yang telah dijalankan oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) merumuskan bahawa faktor utama berlakunya kemalangan atau nahas jalan raya sehingga menyebabkan kematian adalah berpunca daripada sikap manusia iaitu lebih daripada 80 peratus daripada punca utama. Hal ini meningkatkan, diikuti dengan keadaan rekaan, kondisi atau binaan infrastruktur jalan dalam 30 peratus daripada punca kemalangan. Akhirnya hanya dalam lingkungan tujuh peratus adalah berpunca daripada keadaan roadworthiness atau aspek teknikal kenderaan motor yang digunakan.
Kementerian Pengangkutan Malaysia melalui Jabatan Pengangkutan Jalan dan MIROS telah melaksanakan pelbagai program intervensi bagi menangani isu keselamatan jalan raya secara berterusan. Sebagai contoh, program Safety Awareness and Focused Advocacy for Road Users (SAFER), dengan izin, telah dilaksanakan oleh JPJ di seluruh negara dengan memfokuskan kumpulan sasar berbeza dalam memberi kesedaran tentang keselamatan jalan raya khususnya penunggang motosikal. Hal ini demikian kerana lebih 60 peratus kematian akibat nahas jalan raya adalah melibatkan penunggang motosikal.
Dalam sepanjang tahun 2020 hingga 2022, sebanyak 853 program advokasi khas untuk penunggang motosikal termasuklah advokasi untuk p-hailing telah dilaksanakan.
Untuk tahun 2023 pula, JPJ akan merangka untuk melaksanakan lebih 80 program meliputi pelbagai skop kempen keselamatan jalan raya di seluruh negara.
Seterusnya, melalui pelaksanaan Pendidikan Keselamatan Jalan Raya (PKJR) sejak tahun 2007. Pindaan modul pada tahun 2019 untuk sekolah rendah, 2020 untuk sekolah menengah, 2021 untuk prasekolah dan taska dan tahun 2022 untuk sekolah swasta dan juga pada tahun 2023 ini sedang membangunkan modul untuk Sekolah Pendidikan Khas Pendengaran dan Penglihatan.
Program usaha sama antara MOT dengan Kementerian Pendidikan Malaysia ini adalah bertujuan melahirkan generasi pengguna jalan raya yang berhemah dan membudayakan keselamatan jalan raya, seterusnya membentuk masyarakat yang peka terhadap kepentingan keselamatan jalan raya. Selain itu, aktiviti-aktiviti penguatkuasaan juga senantiasa dilaksanakan oleh JPJ bertujuan memastikan orang ramai mematuhi peraturan jalan raya semasa memandu.
Timbalan Menteri Pengangkutan - Datuk Haji Hasbi bin Habibollah
Undang-undang dan peraturan berkaitan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 juga sentiasa diteliti dan ditambah baik termasuk dengan meminda kadar-kadar
Timbalan Menteri Pengangkutan - Datuk Haji Hasbi bin Habibollah
penalti bertujuan sebagai satu bentuk deterrence kepada orang ramai untuk mematuhi semua peraturan jalan raya tersebut.
Tambah sikit lagi ya, Tuan Yang di-Pertua. Daripada aspek memastikan tahap keselamatan dan roadworthiness kenderaan motor pula, JPJ telah mewajibkan semua kenderaan motor baharu yang hendak dipasarkan dan didaftarkan di Malaysia untuk melepasi proses kelulusan jenis kenderaan motor. Semua kenderaan terlibat akan diwajibkan untuk mematuhi standard dan peraturan teknikal pembuatan kenderaan yang telah diiktiraf dan diguna pakai di peringkat antarabangsa di bawah seliaan United Nations.
Selain itu, MIROS juga telah melancarkan Program Penilaian dan Penarafan Keselamatan Kenderaan Motor seperti ASEAN New Car Assessment Program for Southeast Asian Countries (ASEAN NCAP) dan Malaysian Motorcycle Assessment Program (MyMAP) bertujuan meningkatkan tahap keselamatan kenderaan motor melalui pemasangan teknologi keselamatan baharu dan terkini.
Di bawah dua program ini, penarafan bintang akan diberikan kepada kenderaan bermotor yang dikeluarkan dan dipasarkan di Malaysia yang memenuhi tahap keselamatan ditetapkan. Kerajaan juga pada 27 Januari 2022 yang lalu telah melancarkan Pelan Keselamatan Jalan Raya Malaysia 2022-2030 (PKJRM) yang menetapkan sasaran untuk mencapai pengurangan jumlah kematian akibat nahas jalan raya sekurang- kurangnya pada kadar 50 peratus menjelang tahun 2030.
Hala tuju ini adalah selaras dengan seruan dan sasaran Resolusi 74/299 Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang mengisytiharkan tahun 2021 hingga 2030 sebagai dekad tindakan keselamatan kedua sejurus tamatnya dekad yang pertama pada tahun 2020 yang lalu.
Di bawah PKJRM 2022 hingga 2030 ini, pelbagai program dan strategi turut disusun untuk menangani isu keselamatan jalan raya ini dengan penglibatan semua pemegang taruh berkaitan termasuk peringkat komuniti dan peringkat swasta.
Kerajaan telah memperuntukkan sejumlah bajet yang besar untuk menaik taraf pengangkutan awam sebagai salah satu usaha juga untuk mengurangkan jumlah kenderaan di atas jalan raya yang akan mengurangkan kesesakan lalu lintas dan seterusnya, insya-Allah, dapat mengurangkan risiko dan kadar nahas jalan raya.
Saya mengambil kesempatan ini untuk menggalakkan kita semua untuk menggunakan pengangkutan awam yang disediakan selaras dengan insentif-insentif yang telah diberikan dan disediakan oleh kerajaan. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Yang Berhormat Ledang.
Tuan Syed Ibrahim bin Syed Noh - Ledang
Terima kasih Yang Berhormat Timbalan Menteri. Jawapan yang komprehensif, panjang dan saya ucapkan terima kasih banyak penghargaan atas jawapan tersebut.
Saya faham bahawa sebenarnya daripada segi kemalangan jalan raya kalau kita lihat statistik dan implikasi kos, setiap kehilangan nyawa akibat kemalangan jalan raya, implikasinya ialah RM3.12 juta seorang. Pada masa yang sama, saya juga sedar dan kita semua sedar bahawa kita ada ramai pekerja pengedar makanan (p-hailing). Di kalangan mereka ini, 70 peratus daripada pekerja ini pernah mengalami kemalangan.
Kita faham bahawa mereka ini terpaksa bekerja mencari nafkah hidup dapatkan pendapatan tetapi ia juga mengundang risiko apabila mereka bersegera untuk melaksanakan tugas tersebut seperti ada yang langgar petak kuning dan lampu merah.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Ringkaskan soalan.
Tuan Syed Ibrahim bin Syed Noh - Ledang
Jadi, soalan saya. Terutama berkenaan dengan pengedar makanan (p-hailing), mereka mengundang banyak kemalangan jalan raya. Jadi, apakah langkah kerajaan khususnya berkenaan dengan cara kita untuk menangani kes-kes kemalangan yang melibatkan pengedar makanan p- hailing? Terima kasih.
Datuk Haji Hasbi bin Habibollah
Terima kasih Yang Berhormat Ledang. Pada tahun 2021 iaitu semasa COVID-19, saya rasa masa itulah kita melihat tumbuhnya p- hailing ini bagaikan cendawan. Tidak dinafikan, daripada data kita, pada tahun 2021 ini semasa PKP, kematian jalan raya kurang dari tahun sebelumnya— 7,000 atau 6,000 lebih orang. Semasa PKP, hanya 4,000 lebih kematian. Sebanyak 65 peratus daripadanya memang diakui penunggang motosikal. Antara yang boleh keluar semasa itu adalah p- hailing, memang betul.
Yang Berhormat, kementerian menyedari apa yang berlaku tentang p-hailers ini.
Kementerian sentiasa memberi perhatian serius terhadap kemalangan di kalangan pengedar ini. Apabila PKP sudah berlalu pula, p-hailers are still there sampai ke hari ini.
JPJ telah mengadakan engagement dengan syarikat-syarikat p-hailing sebanyak 31 kali pada tahun 2022, tahun lepas dan telah merancang untuk mengadakan kempen bersama PERKESO lagi untuk penunggang p-hailing baharu di ibu pejabat Foodpanda dan Grab Food pada tahun ini, insya-Allah. Ini adalah program-program usaha yang kita buat dan mungkin juga akan ada tempat pembekal-pembekal makanan yang lain juga yang ingin mengikuti program bersama JPJ ini untuk memberi kesedaran kepada p-hailers sambil mencari rezeki itu, jaga-jagalah juga keselamatan diri, insya-Allah. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Yang Berhormat Tanjong Karang.
Dato' Dr. Zulkafperi bin Hanapi - Tanjong Karang
Terima kasih Tuan Yang di- Pertua. Tanjong Karang turut menzahirkan rasa simpati dan takziah kepada mangsa- mangsa banjir di Johor.
Sebagaimana yang kita sedia maklum, kemalangan jalan raya ini disebabkan oleh tiga faktor iaitu faktor jalan itu sendiri, faktor kenderaan dan faktor kemanusiaan. Jadi, statistik terkini kemalangan jalan raya yang berpunca daripada pemandu mabuk dan apa tindakan daripada pihak kerajaan untuk menangani isu ini? Apakah pihak berkuasa akan memperketatkan lagi penjualan minuman keras?
Kedua, isu kemalangan semasa musim perayaan. Apakah inisiatif-inisiatif daripada pihak kerajaan untuk memastikan kemalangan yang berpunca daripada kebanyakan lori-lori dapat dikurangkan? Ini kerana kebanyakan lori ini akan menukar tayar dan barang-barang lain semasa hendak dihantar kepada PUSPAKOM dan apabila sudah lulus, mereka kembali memakai aksesori yang tidak selamat dan tidak menepati piawaian.
Terima kasih.
Datuk Haji Hasbi bin Habibollah
Terima kasih Yang Berhormat Tanjong Karang atas soalan yang diberikan.
Pertama sekali tentang yang mabuk ini. Undang-undang ini sudah lama. Pada tahun 2020, kita telah pun meminda untuk memberikan hukuman yang lebih berat kepada drunk driving. Jadi yang sebenarnya, data rasmi selepas pemindaan, kita belum dapat data rasminya daripada KDN. Tahun 2019, tahun 2021 ada berjumlah dalam 58 orang yang berkaitan dengan mabuk sebelum itu.
Jadi, usaha-usaha ini memanglah sebagaimana yang kita ketahui, kerajaan apabila datangnya hari perayaan, pelbagai program dibuat. Program Balik Kampung, Gong Xi Fa Chai, balik raya dan sebagainya. Semua program ini menjurus kepada itu, memberi kesedaran dan peringatan kepada pemandu-pemandu. At the same time, sebagaimana kita lihat sendiri di jalan-jalan raya kita, program roadblock ini memang selalu dibuat. Malam minggu, hujung minggu dan sebagainya. Ini adalah program yang berterusan.
Tentang— ini kira cat and mouselah ini. Yang masa checking, tukar tayar elok- elok, selepas itu buka balik. Penguatkuasaan berterusan. Apabila roadblock dibuat— dan juga kadang-kadang a combined punya roadblock dibuat antara PDRM, JPJ ataupun LPKP dibuat bersama-sama. Daripada NIOSH juga ada untuk check asap dan sebagainya.
Jadi, semua ini dibuat berterusan. Namun, terus terang di sini, perkara ini akan tetap ada yang cuba-cuba juga. Walaupun undang-undang ketat, hukuman berat, saman
Datuk Haji Hasbi bin Habibollah
yang besar pun akan tetap ada juga yang mencuba nasib. Akan tetapi, insya-Allah kita sama-samalah. Penguatkuasaan dibuat sentiasa dan dia orang ini juga tidak berputus asa juga untuk mencari ruang dan helah untuk melepaskan diri daripada dikenakan saman dan sebagainya.
Datuk Haji Hasbi bin Habibollah
Akan tetapi insya-Allah, selagi kita penguatkuasaan ini memang seharusnya kerja yang berterusan, tidak akan ada noktah dan kesudahannya. Jadi, sama-samalah kita juga dan kepada semua pemandu jalan raya supaya kita mematuhi peraturan jalan raya dan bertimbang rasa terhadap pengguna jalan raya yang lain. Sekian, terima kasih, Yang Berhormat Tanjong Karang.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Saya jemput Yang Berhormat Tuan Kalam bin Salan, Sabak Bernam.
Tuan Kalam bin Salan - Sabak Bernam
Terima kasih, Tuan Yang di-Pertua.
Sebelum itu saya mohon diperbetulkan ejaan soalan saya seperti mana yang tertulis dalam ini iaitu pemain-pemain naturalisasi bukan maturalisasi, ‘m’ tukar kepada ‘n’.
Terima kasih.
2. Tuan Kalam bin Salan [Sabak Bernam] minta Menteri Belia dan Sukan menyatakan ranking pasukan bola sepak Malaysia di peringkat Asia Tenggara, Asia dan FIFA (dunia). Berdasarkan pencapaian di Kejohanan AFF Suzuki Cup 2022 - 2023 adakah kita masih percaya dengan kemampuan jurulatih yang ada dan pemain-pemain naturalisasi yang ada sekarang atau sebaliknya.
Menteri Belia dan Sukan - Puan Hannah Yeoh
Tuan Yang di-Pertua, untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) merupakan badan induk yang bertanggungjawab sepenuhnya terhadap pembangunan dan kemajuan sukan bola sepak negara. Pelantikan jurulatih dan atlet-atlet dalam pasukan kebangsaan ini adalah di bawah tanggungjawab FAM.
Untuk makluman Yang Berhormat Sabak Bernam juga, skuad bola sepak negara kita menduduki buat masa ini:
(i) tempat ke-145 di peringkat FIFA;
(ii) tempat ke-25 di peringkat Asia; dan
(iii) tempat kelima di peringkat ASEAN.
Pada 21 Januari 2022, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah mengumumkan pelantikan Kim Pan-gon dari Korea Selatan sebagai jurulatih pasukan bola sepak kebangsaan yang terbaharu. Kewujudan jurulatih asing bukanlah sesuatu yang baharu dalam arena sukan di seluruh dunia. Pelantikan jurulatih-jurulatih ini adalah berdasarkan kepada pengalaman dan rekod prestasi cemerlang bagi membantu atlet-atlet mempamerkan prestasi yang terbaik.
Sama ada Kim Pan-gon telah membuktikan prestasi yang bagus, ini adalah buktinya. Selepas beliau dilantik sebagai jurulatih pasukan bola sepak kebangsaan, buat kali pertama sejak 43 tahun yang lalu, sejak 1980-an pasukan Malaysia melayakkan diri ke Piala Asia pada Jun tahun lepas dan ini adalah secara merit. Beliau turut berjaya membuktikan kemampuannya apabila skuad negara melangkah ke peringkat separuh akhir Piala AFF Mitsubishi Electric Cup 2022, sekali gus menepati sasaran yang telah ditetapkan oleh FAM iaitu sekurang-kurangnya layak ke separuh akhir di Piala AFF.
Kehadiran pemain naturalisasi yang disebutkan oleh Yang Berhormat bukan suatu kerisauan kepada kita dan untuk pendirian kerajaan dan pihak kementerian kita akan sentiasa bersama dengan FAM bagi memastikan pembangunan pemain tempatan menjadi keutamaan melalui Program Pembangunan Bola Sepak Negara yang merupakan keutamaan dalam segala agenda pembangunan bola sepak negara. Itu sahaja, terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Yang Berhormat Sabak Bernam.
Tuan Kalam bin Salan - Sabak Bernam
Terima kasih Yang Berhormat Menteri.
Di sini juga saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Yang Berbahagia Datuk Hamidin Mohd Amin, Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang telah dipilih sebagai Ahli Majlis Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) bagi penggal 2023 hingga 2027.
Tuan Yang di-Pertua dan Yang Berhormat Menteri, kita sangat menghargai usaha FAM. Bagaimanapun saya berharap Kementerian Belia dan Sukan bersetuju untuk berkolaborasi dengan agensi-agensi seperti kerajaan tempatan dan kelab-kelab bola sepak supaya mewujudkan semula liga bola sepak di peringkat daerah untuk memeriahkan gelanggang-gelanggang ataupun fasiliti yang ada di setiap daerah untuk aktiviti-aktiviti berfaedah golongan anak-anak muda.
Ini adalah kerana mereka ini sangat meminati bola sepak tetapi penggeraknya di peringkat daerah tidak ada sedangkan di situ ada PPD, ada guru-guru yang berkelayakan melatih dan sebagainya ya. Kita lihat apabila ada kejohanan peringkat kelab antarabangsa ataupun peringkat piala dunia mereka sanggup tunggu hingga jauh malam untuk menonton siaran secara langsung. Ini menunjukkan mereka berminat ya.
Jadi, saya cadangkan sekali lagi supaya diadakan liga bola sepak di peringkat daerah untuk memeriahkan suasana di daerah masing-masing dengan bola sepak untuk aktiviti anak-anak muda. Khususnya ada yang tinggal di kampung-kampung, yang dikatakan naik motor ke sana ke mari tidak ada tujuan, biarlah mereka main bola sepak lagi baik. Terima kasih.
Puan Hannah Yeoh
Jawapan saya, saya akan bincang dengan FAM dan saya percaya inisiatif terbaharu dalam bajet untuk tahun depan, geran padanan akan membolehkan penganjuran lebih banyak lagi aktiviti-aktiviti sukan di peringkat akar umbi seperti yang telah dicadangkan oleh Yang Berhormat Sabak Bernam tadi. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Saya minta Yang Berhormat Bukit Bintang.
Tuan Fong Kui Lun - Bukit Bintang
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Soalan tambahan. Saya ingin bertanya kepada Yang Berhormat Menteri, mengapakah pasukan bola sepak negara masih gagal melahirkan pemain bola sepak terbaik dan masih bergantung kepada bantuan pemain-pemain asing? Saya difahamkan pada tahun 60-an dan 70-an, bola sepak Malaysia— pada masa itu Malaya. Boleh dikatakan termasyhur di Asia seperti pemain Santokh Singh, Mokhtar dan juga itu Chow Chee Keong, the best goalkeeper in the world.
[Tepuk] Adakah kementerian akan memperhebatkan dan beri lebih training kepada pemain-pemain tempatan? Terima kasih.
Puan Hannah Yeoh
Saya percaya jawapan saya telah diberikan dalam jawapan utama kepada Yang Berhormat Sabak Bernam tadi.
Dato' Muhammad Bakhtiar bin Wan Chik - Balik Pulau
Tuan Yang di-Pertua, bagi soalan tambahan lain.
Dato’ Indera Mohd Shahar bin Abdullah - Paya Besar
Boleh saya, soalan tambahan?
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Sila duduk.
Dato’ Indera Mohd Shahar bin Abdullah - Paya Besar
Sebab soalan itu sudah jawab soalan asal.
Puan Hannah Yeoh
Ya. seperti yang saya telah jawab, sejak 1980-an buat kali pertama pasukan Malaysia, Harimau Malaya telah layak ke pusingan kelayakan Piala Asia dan saya rasa ini adalah satu pencapaian yang kita boleh banggakan dan pastinya kementerian dengan FAM akan terus berusaha untuk menaikkan prestasi bola sepak di Malaysia.
Puan Hannah Yeoh
Program kita untuk tayangan big screen untuk membolehkan lebih ramai lagi rakyat Malaysia bersama pasukan kita, saya pasti ini akan menaikkan lagi semangat pasukan kebangsaan kita untuk mereka tahu bahawa bila setiap kali mereka main, Malaysia khasnya semua bersama mereka. Bila kita lihat kehadiran ke big screen ini sangat memberangsangkan.
Dalam dua big screen kita, kita ada lebih kurang 150,000 orang rakyat yang keluar bersama-sama pasukan Harimau Malaya untuk melihat dan memberikan sokongan kepada mereka. Terbaru semalam big screen di Kuala Terengganu kita masa hujan pun mereka telah merekodkan kehadiran lebih kurang 900 ke 2,000 orang yang keluar untuk menyaksikan perlawanan tersebut. Terima kasih.
Dato' Mohd Isam bin Mohd Isa - Tampin
Speaker, soalan tambahan.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Saya jemput Yang Berhormat Tuan Sim Tze Tzin, Bayan Baru.
Dato' Muhammad Bakhtiar bin Wan Chik - Balik Pulau
Peminat bola ramai, Speaker.
Dato’ Indera Mohd Shahar bin Abdullah - Paya Besar
Soalan tambahan pasal Akademi Mokhtar Dahari, Speaker.
Dato' Mohd Isam bin Mohd Isa - Tampin
Pasal bola sepak ini.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Soalan ketiga.
Dato' Muhammad Bakhtiar bin Wan Chik - Balik Pulau
[Ketawa]
Dato’ Indera Mohd Shahar bin Abdullah - Paya Besar
Boleh? Soalan tambahan ketiga.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Soalan ketiga bukan soalan tambahan ketiga. Sila duduk.
Dato’ Indera Mohd Shahar bin Abdullah - Paya Besar
Soalan tambahan ketiga, okey. Yang Berhormat Menteri, saya ingin bertanya kepada Yang Berhormat Menteri berkaitan...
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Saya kata soalan ketiga, Yang Berhormat Bayan Baru. Minta maaf.
Dato’ Indera Mohd Shahar bin Abdullah - Paya Besar
Oh, soalan ketiga.
Okey, terima kasih.
Tuan Sanisvara Nethaji Rayer a/l Rajaji - Jelutong
[Bangun]
Tuan Jamaluddin bin Yahya - Pasir Salak
Yang Berhormat Jelutong tidak main bola lah.
Tuan Sim Tze Tzin - Bayan Baru
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Soalan Bayan Baru amat relevan dengan apa yang berlaku di negeri Johor. Mohon Yang Berhormat Menteri jawab soalan ketiga. Terima kasih.
3. Tuan Sim Tze Tzin [Bayan Baru] minta Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim menyatakan sama ada kementerian bercadang untuk menukar kaedah melaksanakan EIA kepada kaedah di mana pemaju membayar fi kepada Jabatan Alam Sekitar tetapi, pemilihan Syarikat EIA dan bayaran kepadanya dikendalikan oleh Jabatan Alam Sekitar.
Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim - Tuan Nik Nazmi bin Nik Ahmad
Terima kasih Yang Berhormat Bayan Baru. Tuan Yang di-Pertua, bagi maksud penyediaan laporan EIA pada hari ini, keperluan seksyen 34A(2) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 menyatakan akan tanggungjawab penggerak projek bagi sesebuah cadangan pembangunan yang melibatkan aktiviti yang ditetapkan melantik orang yang layak ataupun perunding EIA untuk menjalankan kajian EIA bagi memastikan penilaian
Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim - Tuan Nik Nazmi bin Nik Ahmad
kesan kepada aktiviti dan langkah-langkah mitigasi dinyatakan secara komprehensif dan boleh dilaksanakan.
Ada penambahbaikan amalan yang ada pada hari ini berbanding asalnya iaitu bermula tahun 2007 secara sukarela dan kemudian pada tahun 2012 secara mandatori, semua perunding perlu berdaftar dengan Jabatan Alam Sekitar. Jadi, ini adalah standard minimum yang perlu dipatuhi oleh pihak penggerak projek. Namun, memandang dengan apa yang disebut oleh Yang Berhormat Bayan Baru, dia ada beberapa opsyen kalau kita hendak bergerak ke hadapan untuk penambahbaikan yang lebih baik.
Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim - Tuan Nik Nazmi bin Nik Ahmad
Pertama ialah pelantikan perunding oleh Jabatan Alam Sekitar secara langsung.
Kalau daripada segi implikasi kewangan, Jabatan Alam Sekitar masih lagi boleh mengutip bayaran daripada penggerak projek tetapi Jabatan Alam Sekitar (JAS) yang akan pilih siapa perunding untuk melakukan kerja tersebut. Ini untuk mengelakkan apa yang dipanggil consultant shopping. Kedua, ini telah dilaksanakan di peringkat misalnya Majlis Bandaraya Petaling Jaya, yang mana penggerak projek melantik konsultan ataupun perunding mereka sendiri tetapi pihak berkuasa boleh melakukan semakan sama ada menerusi perunding audit ataupun pemeriksa ataupun perunding bebas oleh pihak berkuasa yang juga dibiayai oleh penggerak projek.
Jadi ini lebih fokus, lebih selektif kepada projek-projek yang selektif, yang sensitif alam sekitar ataupun yang mempunyai profil yang tinggi barulah pihak berkuasa akan melakukan semakan sebegitu. Untuk makluman, pihak kerajaan pada hari ini sedang melaksanakan Kajian Pembentukan Lembaga Alam Sekitar (Environmental Board) di bawah RMKe-12 untuk merangka hala tuju dan gerak kerja bagi penubuhan Lembaga Alam Sekitar.
Jadi, isu-isu termasuk cadangan bergerak ke depan yang telah saya sebut sebentar tadi akan dikaji di bawah Kajian Pembentukan Lembaga Alam Sekitar di bawah RMKe-12.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Yang Berhormat Bayan Baru.
Tuan Sim Tze Tzin - Bayan Baru
Terima kasih Yang Berhormat Menteri. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Kita tahu bahawa pemaju atau penggerak projek biasanya mereka membayar this EIA. Selalunya mereka adalah paymaster dan selalunya konsultan-konsultan EIA mereka terpaksa you know, tweak the result untuk memastikan projek ini berjalan.
Kalau projek ini tidak berjalan, maka gagal. Maka paymaster tidak akan bayar atau mereka akan marah. Itu sebab kita perlukan kerajaan untuk melaksanakan kalau boleh, kerajaan yang melantik tetapi dibayar oleh penggerak projek. Walau bagaimanapun, kita pun khuatir bahawa kalau kerajaan lantik ia ada a bit kerenah birokrasi yang melambatkan projek juga. Jadi ia ada two sides of a coin. Jadi, saya mohon supaya kerajaan mengkaji dan lebih baik kita– apakah moving forward. Yang Berhormat Menteri telah mengumumkan bahawa ada moving forward tetapi saya perlukan kerajaan ada ketetapan. Bukan selalu mengkaji tetapi akhirnya masalah banjir, masalah perubahan iklim, masalah pelbagai projek menyebabkan rakyat susah kerana konsultan ini beholden by the paymaster. Mohon penjelasan Yang Berhormat Menteri. Terima kasih.
Tuan Nik Nazmi bin Nik Ahmad
Terima kasih Yang Berhormat Bayan Baru.
Oleh sebab itu, sebagaimana yang saya tahu tentang masalah yang disebut dan saya telah sebut dalam jawapan pertama saya tadi tentang soal consultant shopping. Mungkin ada di kalangan penggerak projek akan mencari perunding-perunding yang dilihat lebih mudah untuk dapat keputusan yang akan memihak kepada mereka. Jadi itu yang cuba dielakkan.
Tuan Nik Nazmi bin Nik Ahmad
Untuk makluman, buat masa ini antara langkah yang telah diambil– pertama, mereka mestilah mendaftar dengan Jabatan Alam Sekitar dan ini dikuatkuasakan secara wajib sejak tahun 2012.
Kedua, langkah yang kita juga sedia maklum bahawa perunding-perunding ini juga bukanlah syarikat biasa tetapi mereka adalah profesional firms dengan izin, yang tertakluk kepada disiplin yang tersendiri dan syarat-syarat piawaian tersendiri yang mesti dipatuhi. Akan tetapi, saya setuju bahawa ada kelompangan di situ yang mungkin kita boleh perbaiki dan sebab itu ada dua modul.
Kalau pertama dilantik secara langsung oleh Jabatan Alam Sekitar untuk setiap projek sebagaimana Yang Berhormat Bayan Baru sebut risikonya adalah red tape, berlaku kelewatan terutamanya kalau mungkin melibatkan seluruh negara. Saya bagi contoh MBPJ tetapi MBPJ ialah PBT yang tertumpu kepada satu buah bandar sahaja.
Kedua ialah di mana kita boleh ada pakar runding atau perunding-perunding audit yang dilantik oleh Jabatan Alam Sekitar, bila timbul isu-isu tertentu atau projek-projek yang melibatkan kawasan sensitif dan berisiko tinggi. Jadi kita bukan semua projek yang ada EIA itu kita lantik perunding audit ataupun auditor consultant tetapi hanya untuk kawasan sensitif dan berisiko tinggi.
Itu boleh dilakukan dan memang kajian ini kita lakukan di bawah RMKe-12 di bawah Kajian Membentuk Lembaga Alam Sekitar dan ia akan siap dalam tempoh yang tidak lama lagi. Kita akan lihat apa cara terbaik untuk mengatasi masalah yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat sebentar tadi. Terima kasih.
Tuan Haji Aminolhuda Hassan - Sri Gading
Sri Gading.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Yang Berhormat Kubang Kerian.
Dato’ Sri Tuan Ibrahim bin Tuan Man - Kubang Kerian
Terima kasih Yang Berhormat Menteri kerana memberi penjelasan yang menepati dan saya fikir menjelaskan apa yang dibangkitkan. Persoalan saya ialah isu EIA, Jadual 2 khususnya, berdepan dengan pelbagai kritikan daripada pelbagai pihak kerana beberapa kelompangan yang ada, sebagaimana Yang Berhormat Menteri sebut tadi.
Antara isu yang besar ialah kerana jumlah yang dilimitkan pada 500 hektar ke atas memerlukan EIA, Jadual Kedua. Di sini kelemahan menyebabkan mereka kadang- kadang pecahkan lot itu supaya kurang daripada 500 hektar, supaya ia tidak terikat dengan Jadual Kedua.
Kedua ialah pemantauan yang terpaksa dibuat oleh Jabatan Alam Sekitar berterusan terhadap sesuatu projek. Saya fikir perlu dilihat tentang kos yang perlu ditanggung oleh pihak kerajaan dalam mengawal kesan daripada pembangunan walaupun kelulusan Jadual Kedua telah pun diberi. Mohon penjelasan. Terima kasih.
Tuan Nik Nazmi bin Nik Ahmad
Terima kasih Yang Berhormat Kubang Kerian dan itu memang antara langkah-langkah yang diambil oleh penggerak-penggerak projek yang ada pada hari ini. Di mana mereka, kalau tidak ada istilah lain kita boleh gunakan ‘kreatif’ ataupun bersifat nakal, di mana projek-projek itu dipecah-pecahkan supaya keluar daripada skop untuk ada EIA di bawah Akta Kualiti Alam Sekitar.
Jadi atas dasar itu, memang ini antara perkara yang harus diambil maklum oleh pihak kerajaan di dalam kita mengkaji semula hala tuju termasuk pembentukan Lembaga Alam Sekitar (Environmental Board) di bawah RMKe-12. Untuk memastikan kita dapat dengan izin, catch up with the times sebab lebih banyak projek yang memerlukan kajian alam sekitar pada hari ini.
Kita juga hendak mengelak pihak penggerak-penggerak projek ini memecahbelahkan projek tersebut untuk keluar daripada skop untuk diadakan EIA, sebagaimana yang disebut oleh Yang Berhormat sebentar tadi.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Saya jemput Yang Berhormat Tuan Zahari bin Kechik, Jeli.
Tuan Zahari bin Kechik - Jeli
Tuan Yang di-Pertua, Jeli mohon izin untuk menyoal cara berpantun.
Beli gelama di pasar minggu, Masak lemak alangkah sedap, Sekian lama Jeli menunggu, Soalan nombor empat mohon dijawab.
4. Tuan Zahari bin Kechik [Jeli] minta Menteri Dalam Negeri menyatakan berapa jumlah pecahan pekerja asing tanpa izin (PATI) yang dipilih untuk menyertai Program Rekalibrasi Tenaga Kerja sehingga kini dan sektor-sektor yang terbabit.
Timbalan Menteri Dalam Negeri - Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar bin Nasarah
Bismillahi Rahmani Rahim. Tuan Yang di-Pertua, saya mohon izin supaya soalan Yang Berhormat Jeli dijawab bersekali dengan soalan nombor B0314 daripada Yang Berhormat Sungai Petani, memandangkan kedua-dua soalan yang diutarakan menyentuh isu yang sama iaitu mengenai inisiatif kerajaan dalam memberi peluang kepada pendatang tanpa izin (PATI) untuk memenuhi keperluan tenaga kerja asing dalam negara ini.
Untuk makluman Yang Berhormat, kerajaan telah memperkenalkan pelan rekalibrasi pendatang asing tanpa izin (PATI) bagi tujuan untuk menyelaras PATI melalui pendaftaran maklumat oleh PATI dan majikan.
Pelan tersebut mula dilaksanakan pada 16 November 2020. Pada asalnya menyasarkan pemulihan semula sektor ekonomi negara, di samping membendung penularan pandemik COVID-19 dalam negara. Sehingga 31 Disember 2022, seramai 418,649 orang PATI telah berdaftar di bawah Program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) melibatkan seramai 30,137 orang majikan.
Kutipan hasil yang dijana oleh kerajaan melalui bayaran fi rekalibrasi, levi, pas, visa dan proses adalah berjumlah RM714,892,532.50. Bagi menyokong keperluan industri untuk beroperasi pada tahap optimum tercapai, kerajaan pada 10 Januari 2023 antara lain telah bersetuju untuk melanjutkan pelaksanaan RTK di bawah Pelan Rekalibrasi PATI 2.0.
Sehingga Disember 2023 dan dibuka kepada semua sektor penggajian pekerja asing. Sehingga 27 Februari 2023, seramai 194,793 PATI telah berdaftar di bawah RTK 2.0 yang melibatkan seramai 17,053 orang majikan.
Timbalan Menteri Dalam Negeri - Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar bin Nasarah
Untuk makluman Yang Berhormat, permohonan yang kita terima melalui program ini sebanyak 55 peratus daripada sektor pembinaan, 28 peratus sektor perkhidmatan, enam peratus perkilangan, enam peratus sektor pertanian dan lima peratus sektor perladangan. Lain-lain sektor belum lagi kita menerima permohonan. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Yang Berhormat Jeli.
Tuan Zahari bin Kechik - Jeli
Soalan tambahan saya ialah kita difahamkan program ini ialah satu program, satu proses untuk meregularisasikan PATI. Ini sudah tentu ia mempunyai syarat-syarat dan prakelayakan yang ketat. Soalannya, apakah syarat dan bagaimanakah proses serta mekanisme dalam memberi kelayakan untuk PATI menyertai program ini? Apakah program ini semata-mata untuk meregularisasikan ataupun atas sebab permintaan terhadap sektor pekerjaan di negara kita?
Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar bin Nasarah
Terima kasih Yang Berhormat Jeli atas soalan tambahan tersebut. Kita faham bahawa atas keperluan industri, pelbagai program telah dilaksanakan oleh kerajaan. Oleh sebab kalau kita sedia maklum bahawa apabila kita membuka semula sempadan negara pada 1 April 2022 susulan peralihan fasa endemik, keputusan tersebut secara langsung telah membenarkan penggajian pekerja asing bagi menampung industri.
Namun begitu, jumlah kumulatif kemasukan pekerja asing baharu agak rendah kerana sehingga ini hanya 143,623 orang direkodkan Jabatan Imigresen. Situasi ini menyebabkan pihak industri, terutama sektor-sektor kritikal tidak lagi dapat beroperasi
Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar bin Nasarah
secara optimum. Oleh sebab itu, kita melaksanakan program-program tambahan, termasuklah program rekalibrasi ini.
Untuk makluman Yang Berhormat, antara syarat kelayakan bagi membolehkan pihak-pihak berkenaan untuk menyertai program ini ialah pertamanya, program ini menyasarkan penglibatan PATI yang melakukan kesalahan di bawah seksyen 6(1)(c) dan seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan Peraturan 39(b) Peraturan- peraturan Imigresen 1959/63 sahaja. Syarat kedua ialah PATI yang melakukan kesalahan-kesalahan sebelum atau pada 31 Disember 2022 dan banyak lagi syarat-syarat lain yang kita tetapkan. Namun, kita tidak kompromi soal-soal berkaitan keselamatan negara dan sebagainya. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Yang Berhormat Tampin.
Dato’ Mohd Isam bin Mohd Isa - Tampin
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Awal Januari lalu, Mesyuarat Khas Pengurusan Pekerja Asing telah memutuskan untuk melanjutkan Program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) melibatkan pekerja asing yang sepatutnya tamat pada 31 Disember 2022 sehingga penghujung tahun ini.
Soalan saya, apakah rasional kerajaan melanjutkan pelaksanaan program tersebut dengan membenarkan majikan menggajikan lagi pekerja asing tanpa izin (PATI)?
Sedangkan penggajian pekerja asing baharu telah dibenarkan susulan pembukaan semula sempadan negara. Adakah kelonggaran syarat program tersebut tidak akan menjejaskan keselamatan dan kedaulatan negara? Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar bin Nasarah
Terima kasih Yang Berhormat Tampin atas soalan yang baik. Untuk makluman semua, sebagaimana saya sebut pada Yang Berhormat Jeli. Kita masih lagi dapat lihat bahawa jumlah kumulatif kemasukan pekerja asing yang rendah. Ia tidak lagi memenuhi keperluan industri sebagaimana yang kita harapkan dan sudah tentu ia memberi kesan negatif kepada pertumbuhan ekonomi negara sebagaimana yang kita maklum.
Oleh sebab itulah, pelanjutan RTK ini merupakan satu pelengkap kepada usul kerajaan dalam memastikan tenaga kerja asing dapat dipenuhi berdasarkan situasi semasa. Langkah ini juga sebenarnya dapat bantu kerajaan untuk pendataan PATI. Selain meningkatkan hasil kerajaan melalui kutipan levi.
Pada masa yang sama, kerajaan turut menjalinkan kerjasama erat dengan negara-negara sumber supaya kemasukan pekerja asing baru dapat dipermudahkan.
Pelan kelonggaran syarat penggajian pekerja asing yang diperkenalkan baru-baru ini merupakan manifestasi kerajaan bagi merancakkan semula sektor ekonomi pasca COVID-19. Berkaitan dengan kelonggaran-kelonggaran yang diberikan, apakah ia menjejaskan soal keselamatan?
Pertama, ingin saya sebut bahawa kerajaan tidak kompromi berkaitan dengan soal keselamatan. Kerajaan bersetuju sebenarnya untuk memberi kelonggaran syarat semasa pelanjutan pelaksanaan RTK sehingga Disember 2023. Hal ini termasuklah pembukaan semua penggajian dibenarkan. Selain beberapa kelonggaran syarat PATI dan majikan.
Namun begitu, sebagaimana saya sebut, Kementerian Dalam Negeri tidak akan sesekali berkompromi apabila melibatkan elemen-elemen keselamatan negara dan ketenteraman awam. Walaupun banyak syarat kita longgarkan, PATI yang mempunyai rekod jenayah atau disenaraikan hitam, masih tidak dibenarkan untuk menyertai RTK.
Perkara ini turut terpakai kepada majikan yang mempunyai kes-kes yang masih belum diselesaikan di pihak JIM. Maknanya, soal-soal berkaitan keselamatan tetap kita beri keutamaan. Terima kasih.
Datuk Seri Dr. Dzulkefly bin Ahmad - Kuala Selangor
Soalan tambahan, kalau boleh.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Memandangkan soalan ini juga soalan Yang Berhormat Sungai Petani, saya bagi satu soalan tambahan kepada Yang Berhormat Sungai Petani.
Datuk Seri Dr. Dzulkefly bin Ahmad - Kuala Selangor
Boleh.
Dr. Mohammed Taufiq bin Johari - Sungai Petani
Terima kasih Tuan Yang di- Pertua. Saya ingin bertanya kepada Timbalan Menteri, saya difahamkan program ini akan berlanjut sehingga hujung tahun 2023. Jadi, apakah langkah kerajaan? Adakah akan meneruskan selepas itu dan atau itu- sekiranya tidak memenuhi sektor pekerjaan, maka akan diteruskan? Adakah kerajaan bercadang untuk meningkatkan atau menaikkan lagi fee pembayaran? Selama proses verifikasi itu, berapa lama kah proses itu diambil untuk memastikan betul-betul strict pemilihan daripada untuk PATI? Terima kasih.
Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar bin Nasarah
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Terima kasih Yang Berhormat Sungai Petani. Jangkaan sasaran kita melalui program rekalibrasi ini ialah dengan mengharapkan lebih kurang setengah juta orang pekerja melalui program ini dapat kita laksanakan. Sama ada kita mahu melanjutkan atau tidak, kita akan melihat bagaimana perkembangan program-program yang dilaksanakan ini.
Daripada segi bayarannya, Yang Berhormat Menteri Kementerian Dalam Negeri telah pun buat kenyataan. Kita tidak ada apa-apa pindaan terhadap bayaran-bayaran yang ditetapkan.
Walau bagaimanapun, kita hendak sebut bahawa kita dari semasa ke semasa sentiasa melihat perkembangan program ini, melakukan penambahbaikan. Apa yang penting, apa yang kita lakukan ini dapat memenuhi hasrat kerajaan, terutama sekali untuk memenuhi keperluan sektor industri. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Saya jemput Yang Berhormat Tuan Haji Onn bin Abu Bakar, Batu Pahat.
5. Tuan Haji Onn bin Abu Bakar [Batu Pahat] minta Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan menyatakan harga rumah yang meningkat adalah antara faktor yang menyebabkan pendapatan makin mengecil. Kenaikan harga rumah yang berterusan tidak diikuti oleh pertambahan pendapatan yang seimbang amat menyulitkan, khususnya kepada pembeli rumah pertama. Apakah langkah kementerian untuk membendung masalah ini.
Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan - Tuan Haji Akmal Nasrullah bin Mohd Nasir
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, Ahli Parlimen Batu Pahat.
Berdasarkan sorotan ketidakmampuan memiliki rumah yang diterbitkan oleh Bank Negara Malaysia. Perumahan menjadi sangat tidak mampu dimiliki kerana kebanyakan rakyat Malaysia mempunyai pendapatan yang tidak mencukupi serta mempunyai tahap keberhutangan yang tinggi.
Selain itu, adalah di dapati bahawa kadar pertumbuhan tahunan terkompaun 2014-2020 juga menunjukkan peningkatan harga rumah sebanyak 4.1 peratus iaitu peningkatan yang lebih tinggi jika dibandingkan dengan kadar kenaikan pendapatan sebanyak 2.1 peratus.
Justeru untuk makluman Ahli Yang Berhormat juga, bagi membantu pembeli rumah pertama, Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah melaksanakan inisiatif-inisiatif seperti berikut:
(i) melancarkan Inisiatif Pembiayaan Perumahan Malaysia i-Biaya dengan kerjasama dengan Kementerian Kewangan. Salah satu inisiatif di bawahnya adalah Skim Jaminan Kredit Perumahan
(SJKP) iaitu pembiayaan perumahan tanpa perlu membayar wang pendahuluan yang di tawarkan kepada golongan yang tidak mempunyai pendapatan tetap atau kumpulan gig ekonomi; dan
(ii) di bawah Program Pemilikan Kediaman (Home Ownership Programme – HOPE). Inisiatif i-Miliki melibatkan pemberian insentif pengecualian duti setem ke atas surat cara pindah milik dan perjanjian pinjaman bagi pembelian rumah pertama, rumah berharga sehingga RM1 juta.
Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan - Tuan Haji Akmal Nasrullah bin Mohd Nasir
Selain itu, bagi memastikan harga rumah adalah terkawal dan mampu dimiliki, kerajaan juga telah melaksanakan beberapa tindakan seperti berikut:
Pertama, memperkenalkan Dasar Rumah Mampu Milik (DRMM) iaitu melalui dasar ini, kerajaan telah memperkenalkan dan menetapkan syiling harga rumah mampu milik pada RM300,000. Walau bagaimanapun, syiling harga ini turut tertakluk kepada Dasar Perumahan di peringkat negeri.
Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan - Tuan Haji Akmal Nasrullah bin Mohd Nasir
Kedua, akan melaksanakan pemetaan indeks rumah mampu milik berdasarkan pendapatan median mengikut negeri dan daerah yang diperoleh daripada tinjauan Laporan Survei Pendapatan Isi Rumah dan Kemudahan Asas 2019. Kaedah ini mengambil kira median pendapatan rakyat mengikut lokaliti berdasarkan kaedah gandaan median, median multiple. Pemetaan ini bertujuan sebagai panduan kepada pemaju serta agensi penyedia perumahan bagi penetapan harga jualan rumah di satu-satu lokaliti.
Ketiga, menggalakkan pemaju untuk melaksanakan kajian kebolehlaksanaan atau feasibility study sebelum sesuatu pemajuan bagi memastikan rumah yang dibina adalah berdasarkan kemampuan rakyat serta mengelakkan rumah tersebut tidak terjual.
KPKPT insya-Allah akan terus giat melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memastikan rakyat mendapat akses perumahan berkualiti dan mampu dimiliki. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Yang Berhormat Batu Pahat.
Tuan Haji Onn bin Abu Bakar - Batu Pahat
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Timbalan Menteri, soalan tambahan. Selain daripada kenaikan harga rumah, rakyat juga gusar akan trend terlalu banyak projek perumahan yang sakit dan terbengkalai. Mohon kementerian nyatakan unjuran atau berapa banyak projek sakit yang terbengkalai sehingga tahun ini.
Tuan Haji Akmal Nasrullah bin Mohd Nasir
Terima kasih Yang Berhormat Batu Pahat atas soalan dan kepekaan beliau. Kementerian amat prihatin dengan kegusaran rakyat terutamanya apabila melibatkan rumah lewat atau sakit ini, mereka terpaksa menampung bayaran sewa ketika rumah yang sedia ada diduduki. Tekanan perasaan atau emosi serta perancangan mereka juga terganggu.
Justeru, apabila kita menubuhkan task force projek perumahan swasta sakit dan terbengkalai, kita tumpukan kepada empat peranan iaitu tracking, resolve, preventive dan juga forward modelling. Dalam isu untuk mengenal pasti unjuran, semalam juga apabila saya turun ke tapak projek rumah yang sakit, kita mendapati bahawa trend untuk tahun 2023 ini dalam keadaan yang akan meningkat.
Maka, sebab itu untuk berlaku telus dan jujur, maka data tracking yang kita buat bukan hanya mengikut kelas yang sedia ada, iaitu lewat atau pun terbengkalai tetapi pihak task force jabatan juga telah menilai daripada segi jangkaan ataupun unjuran yang akan berlaku untuk tahun ini.
Jadi, untuk makluman Dewan, Ahli-ahli Yang Berhormat, projek lewat sehingga 31 Januari 2023 adalah sebanyak 166 buah projek, projek sakit sebanyak 437 projek dan projek terbengkalai sebanyak 115 buah projek. Akan tetapi, unjuran untuk tahun 2023, kita jangkakan projek lewat ada lagi 188 dan projek sakit ada lagi 101. Ini menyebabkan unjuran bagi tahun 2023 secara keseluruhan, projek lewat sebanyak 354 buah projek.
Manakala, projek sakit ialah sebanyak 538 buah projek sekiranya tiada intervensi daripada kerajaan. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Okey Yang Berhormat Bagan Serai.
Datuk Idris bin Ahmad - Bagan Serai
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh****.** Terima kasih kepada Tuan Yang di-Pertua. Fenomena yang berlaku ini sebenarnya kita merasa bimbang. Takut akan wujudnya generasi tanpa rumah. Apabila timbul isu ini akan menimbulkan masalah krisis sosial terutama apabila majoriti daripada kalangan rakyat yang tidak mempunyai rumah akibat daripada pendapatan yang tidak
Datuk Idris bin Ahmad - Bagan Serai
seimbang dengan harga rumah. Persoalan saya, adakah kerana wujudnya spekulator yang berperanan untuk menaikkan harga rumah. Kalau pun ya, apakah peranan yang perlu dimainkan oleh pihak kerajaan untuk mengatasi perkara tersebut? Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Tuan Haji Akmal Nasrullah bin Mohd Nasir
Terima kasih Yang Berhormat Bagan Serai atas persoalan yang dikemukakan. Sepertimana Yang Berhormat sebut, soal pemilikan rumah ini bergantung kepada soal pendapatan dan juga harga rumah itu sendiri.
Jadi, saya jelaskan sedikit apabila kerajaan mengumumkan SJKP sebagai contoh untuk membantu mereka memiliki rumah yang pertama.
Sebenarnya seramai 15,024 orang peminjam telah mendapat manfaat dengan jumlah nilai pembiayaan sebanyak RM1.91 bilion. Jadi, sebenarnya kita tahu walaupun harga rumah meningkat dan juga pendapatan itu tidak seiring, jadi itulah intervensi yang berlaku atau yang diuruskan oleh kerajaan.
Bagi soalan yang kedua, soal spekulasi sebagai contoh amalan yang kita guna pakai selama ini sebagai kerajaan iaitu apabila sebut cukai RPGT, nilaian itu berbeza mengikut jumlah tahun pemilikan tersebut. Kalau dilupuskan, apabila dijual dalam tempoh kurang daripada 3 tahun, nilainya lebih tinggi daripada selepas 5 tahun.
Jadi, sebab itu untuk mengekang spekulasi itu terus berlaku, ada kaedah-kaedah yang diguna pakai untuk mengelakkan orang jual i rumah ini dengan tujuan hanya untuk mendapat keuntungan proses jual beli. Sebab itu kita kena cari jalan supaya tempoh memegang rumah lebih panjang. Last sekali Tuan Yang di-Pertua, sebagai contoh untuk soal pinjaman daripada pihak bank juga, amalan yang diguna pakai ketika ini untuk peminjam rumah pertama sehingga ketiga, 10 persen deposit perlu dibayar. Akan tetapi, apabila sudah masuk unit yang lebih daripada tiga unit dan ke atas, bank selalunya akan meminta deposit sehingga 30 peratus. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Saya jemput...
Tuan Tan Hong Pin - Bakri
Tuan Yang di-Pertua.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yien
Yang Berhormat Kuala Langat, Dato’ Dr. Ahmad Yunus bin Hairi,
Dato’ Dr. Ahmad Yunus bin Hairi - Kuala Langat
Dengan izin, Tuan Yang di- Pertua.
Yang Berhormat Timbalan Menteri di sebelah sana, Maqasid syariah di hati tertanam; Mempertahankan LGBT suatu yang bahana, Sila jawab soalan saya nombor enam.
6. Dato' Dr. Ahmad Yunus bin Hairi [Kuala Langat] minta Menteri Kesihatan menyatakan:
(a) apakah rasionalnya projek perintis penggunaan ubat PrEP meletakkan kumpulan sasar individu 18 tahun ke atas, HIV seronegatif dan berisiko tinggi untuk dijangkiti HIV; dan
(b) apakah kesan kepada kewangan negara untuk tujuan tersebut.
Timbalan Menteri Kesihatan - Tuan Lukanisman bin Awang Sauni
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Jawapan daripada Kementerian Kesihatan, ubat profilaksis prapendedahan HIV iaitu PrEP ini merupakan kaedah pencegahan farmaseutikal pada masa kini yang berkesan dan berupaya mencegah jangkitan secara seksual sehingga 99 peratus. Kaedah ini telah terbukti secara saintifik melalui banyak kajian di luar negara.
Pengambilan ubat ini hendaklah mengikuti arahan serta melalui pemantauan doktor pakar terlatih.
Lebih tiga perempat bersamaan dengan 77 peratus kes baharu yang dilaporkan pada setiap tahun terdiri daripada golongan muda berumur di antara 20 hingga 39 tahun dan lebih 90 peratus kaum lelaki. Ini juga menunjukkan pendedahan daripada jangkitan
Timbalan Menteri Kesihatan - Tuan Lukanisman bin Awang Sauni
HIV telah bermula dari bangku persekolahan lagi. Hampir kesemua 97 peratus dijangkiti melalui hubungan seksual.
Buat masa ini, harga PrEP yang boleh diakses di klinik mahupun farmasi swasta agak tinggi sehingga sekitar RM90 hingga RM120 bagi satu botol PrEP. Dengan kemampuan golongan muda yang terhad, khususnya di kalangan pelajar institusi pengajian, maka kaedah ini mampu mencegah penularan jangkitan. KKM sentiasa mengutamakan pencegahan berlandaskan nilai-nilai murni seperti abstinence. Namun mutakhir ini, isu penyalahgunaan substance memberikan cabaran besar kepada usaha pencegahan. Justeru, PrEP adalah kaedah pencegahan tambahan yang ternyata berkesan yang perlu disediakan sebagai supplement kepada usaha pencegahan sedia ada seperti advokasi abstinence, kondom, pengurangan risiko dan yang lain-lain.
Mencegah dengan ubat PrEP adalah bersifat sementara berbanding dengan merawat orang yang menghidapi HIV yang perlu mengambil ubat antiretroviral seumur hidup dan pastinya memakan belanja yang lebih besar. Di samping itu, jika penghidap HIV menghadapi komplikasi AIDS dan penyakit oportunistik, rawatan akan menjadi lebih mahal serta melibatkan kos hospital dan rawatan rapi yang sangat tinggi berbanding dengan pembelian PrEP yang hanya berharga RM320 bagi seorang untuk tempoh setahun.
Merujuk kepada jawapan soalan kedua Yang Berhormat Kuala Langat berkenaan tentang kesan penggunaan PrEP kepada kewangan negara, kajian Centre of Excellence for Research in AIDS (CERiA) menunjukkan bahawa kegunaan PrEP sebagai langkah pencegahan transmisi HIV membantu menjimatkan kos kesihatan merawat HIV pada tahun 2006 hingga tahun 2013 sebanyak RM40 juta.
Timbalan Menteri Kesihatan - Tuan Lukanisman bin Awang Sauni
Memandangkan projek rintis ini juga baharu sahaja dilaksanakan. Oleh yang demikian, kajian berhubung kesan kepada kewangan negara akan diteliti semula selepas tempoh pelaksanaan selesai termasuk keperluan meneruskan projek rintis ini pada tahun- tahun yang mendatang. Sekian, terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Yang Berhormat Kuala Langat.
Dato’ Dr. Ahmad Yunus bin Hairi - Kuala Langat
Terima kasih Tuan Yang di- Pertua. Soalan tambahan saya PrEP ini bukan vaksin dan PrEP adalah ubat untuk merawat HIV dan pemberian kepada pengamal seks songsang ini yang mana adalah negatif HIV seolah-olah kita menggalakkan ataupun kita tidak menghalang untuk aktiviti songsang ini.
Adakah kerajaan memikirkan satu yang serius dari sudut program pencegahan tingkah laku ataupun macam kempen anti merokok, Klinik Berhenti Merokok dan adakah selepas daripada tamatnya program ini setahun yang akan datang akan diberi pula ubat anti PrEP kepada pasangan yang HIV positif dengan alasan untuk mengurangkan kes- kes jangkitan ini?
Saya dapat maklumat juga bahawa projek rintis ini tidak mendapat pandangan daripada fatwa dan juga stakeholder di beberapa peringkat pada peringkat awalnya sebelum dimulakan pada Januari 2023 ini? Terima kasih.
Tuan Lukanisman bin Awang Sauni
Baik, terima kasih Yang Berhormat Kuala Langat. Saya mengambil pandangan sebegini berkenaan tentang Program PrEP yang telah dimulakan. Bagi soalan berkenaan dengan engagement, kita telah mengadakan engagement bersama pihak agamawan dan antara tarikh-tarikh yang kita telah buat adalah pada 27 Jun 2022. Kerjasama antara Jabatan Kesihatan Negeri Selangor dan juga Jabatan Agama Islam Selangor dan juga selain daripada itu terdapat perbincangan susulan bersama KKM dan juga JAKIM pada 20 Disember.
Sudah pasti kita bukan hanya sekadar mengadakan bersama agamawan tetapi kita meluaskan pandangan-pandangan agama-agama yang lain seperti Hindu, Buddha dan juga pihak-pihak gereja. Saya berpendapat, KKM mengadakan Program PrEP ini adalah kerana untuk mengurangkan kadar jangkitan bukan untuk menggalakkan satu
Tuan Lukanisman bin Awang Sauni
tingkah laku seksual songsang dan juga rawatan PrEP ini adalah untuk menghindar dan juga bukan kita tidak dapat selective golongan tertentu sahaja untuk layak mendapatkan.
Ini kerana angka-angka yang kita dapat katakan tadi, saya menyebut bahawa di kalangan yang mendapatkan HIV adalah 97 peratus melalui transmisi seksual dan juga anak muda berusia 20 hingga 39 tahun kebanyakannya adalah 76 peratus adalah dalam kalangan anak muda.
Kita beranggapan sekiranya kita memberikan rawatan PrEP ini kita inginkan kerjasama masyarakat dan juga semua golongan profesional agamawan untuk membantu. Sementara mendapatkan rawatan PrEP ini kita akan melakukan rawatan- rawatan abstinence mengembalikan mereka untuk ke jalan yang betul dan juga sekiranya mereka meneruskan aktiviti ini kita bimbang jangkitan HIV semakin menular.
Angka-angka menunjukkan bahawa HIV ini adalah merupakan satu masalah yang besar pada masa yang akan datang.
Dr. Kelvin Yii Lee Wuen - Bandar Kuching
Bandar Kuching.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Yang Berhormat Bandar Kuching.
Dr. Kelvin Yii Lee Wuen - Bandar Kuching
Terima kasih Yang Berhormat Timbalan Menteri. Bagi saya, untuk menyelesaikan satu isu sebenarnya kita kena multipronged. Contohnya, kalau kita bagi PrEP tidak semestinya kita tidak menggalakkan abstinence sebagai contoh.
Sebagai seorang doktor, antara oath yang kita ambil hippocratic oath kita kena menolong merawat semua tidak kira background, bangsa, agama dan demografi, contohnya. Jadi, kalau kita treat this as a health issue sains jelas menunjukkan bahawa boleh mengurangkan kebarangkalian jangkitan hampir 90 peratus.
Malah, ini bukan treatment. It’s a preventive. Jadi, the spirit is different. Tadi ada contohnya, berapakah boleh kurangkan daripada segi kewangan? Ini adalah satu okey...
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Soalan, soalan.
Dr. Kelvin Yii Lee Wuen - Bandar Kuching
Daripada sudut research, clearly shows kita boleh jimat sehingga RM47 juta dalam lapan tahun dan jika kita rawat awal, mereka tidak perlu ambil rawatan seumur hidup.
Jadi, apakah pendapat Yang Berhormat Timbalan Menteri sebagai perawat kesihatan. Adakah kita punya main aim adalah kesihatan seseorang tersebut? Apa khabar? Apakah penjelasan?
Tuan Lukanisman bin Awang Sauni
[Ketawa] Khabar baik Yang Berhormat Bandar Kuching dan juga saya sangat-sangat bersetuju dengan pandangan Yang Berhormat Bandar Kuching bahawa rawatan ataupun prevention yang kita buat dengan memberi PrEP ini adalah untuk bukan sebagai satu rawatan dan juga galakan kepada pengamal-pengamal aktiviti songsang ini tetapi sebagai langkah ke depan untuk mengurangkan.
Kalau kita lihat data jumlah orang yang hidup dengan HIV pada tahun 2022 yang belum dimuktamadkan, jumlah adalah 69,589 dan kes baharu HIV pada tahun 2022 adalah 3,177. Saya merasakan pendekatan PrEP ini dapat mengurangkan kadar jangkitan dan juga kebimbangan kita pada usia-sia yang seawal 18 tahun sudah mendapat HIV itu tidak mencukupi dengan langkah abstinence sahaja.
Akan tetapi, saya menggalakkan sekiranya ada idea-idea dan juga program ini adalah merupakan program rintis di 18 buah klinik kesihatan di bawah KKM dan juga peruntukan ini adalah datang dari Malaysia Act Council. Saya merasakan sokongan terhadap program ini kita boleh duduk berbincang dan melihat apakah keperluan dan yes
Tuan Lukanisman bin Awang Sauni
and no berkenaan tentang pemberian PrEP ini untuk masyarakat di Malaysia. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Timbalan Yang di-Pertua - Puan Alice Lau Kiong Yieng
Saya jemput Yang Berhormat Kudat, Dato’ Verdon bin Bahanda.
Dato’ Verdon bin Bahanda - Kudat
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Ini pertama kali dapat peluang untuk dapat soalan lisan.
7. Dato' Verdon bin Bahanda [Kudat] minta Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menyatakan peratus capaian bekalan elektrik luar bandar di Sabah. Apakah pelan kementerian untuk memberikan kemudahan elektrik alternatif bagi penduduk di pulau- pulau yang tidak mempunyai talian bekalan elektrik.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah - Datuk Hajah Rubiah binti Haji Wang
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Terima kasih Yang Berhormat Kudat atas soalan nombor tujuh yang menunjukkan Yang Berhormat begitu prihatin terhadap isu bekalan elektrik luar bandar khususnya di negeri Sabah.
Untuk makluman Yang Berhormat, kementerian sentiasa komited dalam menyediakan kemudahan elektrik dan meningkatkan capaian bekalan elektrik di negeri Sabah. Sehingga tahun 2022, liputan bekalan elektrik di negeri Sabah telah mencapai sebanyak 96 peratus.
Untuk makluman Yang Berhormat, kementerian sentiasa bekerjasama dengan kerajaan negeri bagi mendapatkan senarai keutamaan projek infrastruktur luar bandar di negeri Sabah melalui Unit Perancangan Negeri Sabah yang turut melibatkan kawasan- kawasan pedalaman dan juga terpencil.
Pelbagai kaedah termasuk kaedah alternatif telah dilaksanakan menerusi Program Bekalan Elektrik Luar Bandar bagi membolehkan setiap penduduk mendapat bekalan elektrik selama 24 jam sehari. Kementerian telah melaksanakan empat buah Projek Sistem Solar Hibrid yang melibatkan pelaksanaannya di pulau-pulau negeri Sabah.
Daripada empat projek tersebut, sebanyak tiga projek telah siap sepenuhnya dan satu lagi projek dalam fasa pelaksanaan. Terima kasih.
Dato’ Verdon bin Bahanda - Kudat
Terima kasih atas jawapan Yang Berhormat Timbalan Menteri. Kawasan Parlimen Kudat ini cukup besar, terdiri juga dari pulau-pulau yang berpenduduk.
Jadi, soalan saya apakah sasaran pihak kementerian daripada segi peratusan untuk memberikan bekalan elektrik di kawasan saya di kawasan Parlimen Kudat dalam tahun ini daripada segi peratusan dan saya juga ingin mengetahui status berkenaan dengan dua projek solar terbengkalai di Pulau Bangi dan juga di Pulau Balambangan?
Mohon pencerahan. Terima kasih.
Datuk Hajah Rubiah binti Haji Wang
Terima kasih atas soalan tambahan. Untuk makluman Yang Berhormat, berdasarkan perancangan yang dikemukakan oleh pihak Kerajaan Negeri Sabah, kementerian menyasarkan peratus liputan berkaitan bekalan elektrik di wilayah Sabah termasuk Parlimen Kudat sebanyak 99 peratus pada tahun 2025.
Pada masa ini, terdapat satu projek pembekalan elektrik melalui kaedah solar hibrid sedang dilaksanakan yang melibatkan Pulau Balambangan, Pulau Malawali dan juga Pulau Tigabu.
Bagi Pulai Bangi, pembekalan elektrik telah dibuat melalui Projek Solar Hibrid yang telah siap dilaksanakan dan telah pun diserahkan kepada Sabah Electricity Sendirian Berhad (SESB) untuk tujuan operasi dan juga selenggara. Walau bagaimanapun, kementerian masih juga menyalurkan peruntukan untuk tujuan penyelenggaraan dari segi penggantian bateri dan juga peralatan yang telah luput.
Datuk Hajah Rubiah binti Haji Wang
Kementerian juga telah meluluskan peruntukan bagi melaksanakan Projek Pembinaan Pencawang Masuk Utama dan Talian Penghantaran 132KV Bengkoka, Pitas, Sabah yang mana setelah siap nanti akan dapat disambung terus ke Pulau Bangi.
Manakala bagi projek Pulau Balambangan, projek ini sedang dalam penggantungan kerja sementara menunggu kelulusan pelan bangunan. Projek dijangka akan dimulakan semula pada suku kedua tahun ini. Terima kasih, Tuan Yang di-Pertua.
[Timbalan Yang di-Pertua (Dato’ Ramli bin Dato’ Mohd Nor) mempengerusikan
Mesyuarat] Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Kita selanjutnya pada soalan nombor lapan. Datuk Haji Awang bin Hashim, Yang Berhormat Pendang.
Datuk Haji Awang bin Hashim - Pendang
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Hajat bermukim mencari emas, Mudik ke hulu dengan sampan, Jangan gusar dan jangan cemas, Soalan Pendang kali ini di lantai nombor lapan.
8. Datuk Haji Awang bin Hashim [Pendang] minta Menteri Sumber Manusia menyatakan apakah rasional pihak kerajaan dalam tindakan menangguhkan pelaksanaan Perintah Gaji Minimum 2022 (PGM2022) terhadap majikan kurang lima pekerja meskipun perintah tersebut terpakai untuk majikan kategori lain
Menteri Sumber Manusia - Tuan Sivakumar a/l Varatharaju Naidu
Tuan Yang di-Pertua, Perintah Gaji Minimum 2022 telah berkuat kuasa mulai 1 Mei 2022 dengan kadar gaji minimum RM1,500 sebulan untuk semua sektor tanpa mengira wilayah bagi majikan yang menggajikan lima orang pekerja atau lebih dan tanpa mengira bilangan pekerja bagi majikan yang menjalankan sesuatu aktiviti profesional yang dikelaskan di bawah Piawaian Pengelasan Pekerjaan Malaysia 2022.
Untuk makluman Dewan yang mulia, kementerian telah menerima sejumlah 23 rayuan daripada majikan pelbagai sektor. Terdapat juga organisasi seperti Persatuan Industri Keselamatan Malaysia, Gabungan Persatuan Pendidikan Islam Malaysia dan Koperasi Pegawai-pegawai Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia yang turut mengemukakan rayuan penangguhan pelaksanaan Perintah Gaji Minimum 2022 ini.
Kerajaan telah membuat keputusan untuk melanjutkan pelaksanaan Perintah Gaji Minimum 2022 bagi majikan yang menggajikan kurang daripada lima orang pekerja mulai 1 Januari 2023 kepada 1 Julai 2023 di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.
Keputusan penangguhan ini dibuat antaranya dengan mengambil kira memorandum daripada pelbagai pihak yang terlibat yang menyatakan bahawa mereka terpaksa menanggung kos tambahan akibat daripada pelaksanaan Perintah Gaji Minimum 2022 yang akhirnya akan menyebabkan peningkatan kos pengeluaran, operasi dan juga perkhidmatan syarikat.
Penangguhan tambahan selama enam bulan ini terhadap perniagaan mikro di mana pekerjanya kurang daripada lima orang diharap dapat memberikan peluang untuk mereka menyelaras dan mengimbang keperluan kewangan yang sedikit sebanyak akan membantu memulihkan kedudukan ekonomi mereka. Sekian, terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Soalan tambahan, Yang Berhormat.
Datuk Haji Awang bin Hashim - Pendang
Terima kasih, Tuan Yang di-Pertua.
Terima kasih sahabat yang menjawab soalan, Yang Berhormat Menteri KSM.
Seterusnya, gaji ialah elemen yang sangat penting untuk menjana economic cycle dan juga penghasilan revenue negara. Jadi, gaji juga menjadi satu perkara yang sangat
Datuk Haji Awang bin Hashim - Pendang
sensitif kepada B40 dan juga golongan rentan. Jadi, dalam kajian serta pertimbangan yang kita ada setiap dua tahun sekali, sistem penggajian minimum negara juga dilihat semakin tidak relevan apabila kos sara hidup semakin meningkat tanpa kawalan, selain melibatkan elemen penting seperti latihan, upskilling dan produktiviti ataupun reskilling ini.
Jadi, memandangkan progressive wage model yang kita cadangkan, dengan izin, boleh diangkat sebagai sistem yang boleh diguna pakai di Malaysia pasca-COVID-19, apabila ia melibatkan elemen latihan dan produktiviti. Daripada cadangan ini, soalan saya, mengapakah kerajaan tidak mempertimbangkan untuk melaksanakan sistem progressive wage model ini untuk diguna pakai di Malaysia? Jika tidak dapat dilaksanakan secara menyeluruh, saya cadangkan agar ia dilaksanakan secara berperingkat sama ada bagi beberapa sektor terdahulu. Ini soalan saya. Sekian, terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Yang Berhormat Menteri.
Tuan Sivakumar a/l Varatharaju Naidu
Terima kasih Yang Berhormat Pendang.
Cadangan pelaksanaan Model Gaji Progresif yang disarankan oleh Yang Berhormat Pendang ialah satu cadangan yang baik. Walau bagaimanapun, ia memerlukan satu kajian yang lebih mendalam selaras dengan situasi ekonomi dan perburuhan semasa di negara kita. Pelaksanaan gaji progresif dan gaji minimum mempunyai objektif yang sama iaitu memberi perlindungan kepada pekerja yang menerima gaji terendah.
Di samping itu, kerajaan juga dalam usaha untuk meneliti cadangan daripada Bank Negara berkaitan dengan living wage. Berdasarkan laporan Bank Negara pada tahun 2018, kadar living wage untuk seorang individu adalah berjumlah RM2,700. Bagi pasangan tanpa anak pula, kadarnya adalah sebanyak RM4,500 dan pasangan dengan dua orang anak ialah RM6,500. Sehubungan itu, kerajaan perlu mengkaji secara teliti dan mengenal pasti model yang paling sesuai untuk negara kita. Terima kasih, Yang Berhormat.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Yang Berhormat Gopeng.
Tuan Tan Kar Hing - Gopeng
Terima kasih kepada Tuan Yang di-Pertua dan juga Yang Berhormat Menteri yang memberikan jawapan. Saya ingin bertanya kepada Yang Berhormat Menteri bahawa sejak pelaksanaan Perintah Gaji Minimum 2022, sejauh manakah kementerian menjalankan kerja-kerja pemantauan dan penguatkuasaan di lapangan? Jika mendapati sesiapa yang melanggar perintah ini, apakah tindakan yang boleh diambil oleh pihak kementerian terhadap mereka? Terima kasih.
Tuan Sivakumar a/l Varatharaju Naidu
Terima kasih Yang Berhormat Gopeng.
Saya tidak mempunyai data yang terperinci berkaitan dengan soalan ini. Walau bagaimanapun, saya akan berikan sedikit maklumat berkaitan dengan isu ini, di mana bagi tempoh Mei 2022 sehingga 31 Disember 2022, Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Sarawak telah menjalankan 17,565 pemeriksaan berkanun terhadap majikan dan 2,448 syor pematuhan telah dilaporkan atas pelanggaran Perintah Gaji Minimum 2022.
Begitu juga bagi tempoh yang sama, Jabatan Tenaga Kerja Sabah telah menjalankan 5,707 pemeriksaan berkanun dan telah mengeluarkan 128 syor pematuhan.
Jabatan Tenaga Kerja Sarawak pula telah menjalankan 5,490 pemeriksaan berkanun dan 83 syor pematuhan yang dikeluarkan atas pelanggaran yang sama. Maklumat-maklumat lain kalau Yang Berhormat perlu, saya akan berikan secara jawapan bertulis. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Terima kasih Yang Berhormat Menteri. Berikutnya, kita pergi ke soalan nombor 9, Puan Teresa Kok Suh Sim, Yang Berhormat Seputeh.
9. Puan Teresa Kok Suh Sim [Seputeh] minta Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan menyatakan jumlah anjing penyelamat yang telah dan akan dilatih oleh pihak bomba untuk usaha menyelamat pada waktu bencana. Apakah benar kesemua anjing penyelamat ini tidak dibenarkan untuk diangkat oleh orang luar tetapi mereka akan dimusnahkan selepas melebihi umur 10 tahun mengikut peraturan kerajaan.
Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan - Tuan Haji Akmal Nasrullah bin Mohd Nasir
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, terima kasih Yang Berhormat. KPKT sentiasa berusaha dalam meningkatkan kompetensi Unit Anjing Pengesan (K9) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dalam menghadapi bebanan tugasan yang kian mencabar serta rumit.
Pada masa kini, JBPM memiliki 32 aset anjing pengesan yang ditempatkan di tiga buah pusat pengoperasian Unit K9 iaitu di Jalan Klang Lama di Kuala Lumpur, Serian di Sarawak dan Tuaran di Sabah. Kesemua anjing pengesan yang ditempatkan di pusat pengoperasian tersebut memiliki kepakaran tersendiri, melibatkan empat disiplin utama
iaitu, dengan Izin Tuan Yang di-Pertua
(i) urban disaster search and rescue;
(ii) fire investigation;
(iii) cadaver; dan
(iv) wilderness.
iaitu, dengan Izin Tuan Yang di-Pertua
Dalam mengatasi isu berkaitan anjing pengesan yang telah menjangkau usia 10 tahun dan menghidap penyakit kronik serta tidak ekonomik untuk dipulihkan, kementerian melalui JBPM telah mendapat kelulusan agensi pusat dalam Rolling Plan Ketiga RMKe- 12 bagi perolehan sebanyak 12 ekor anjing pengesan yang baharu yang dijangka akan diterima pada tahun 2025. Dua tahun lagi.
Perolehan ini adalah bagi penggantian anjing pengesan melibatkan discipline, fire investigation dan urban disaster search and rescue. Anjing ini telah dilatih sepenuhnya oleh pembekal sebelum diserahkan kepada JBPM dan boleh digerakkan ke setiap operasi mengikut disiplin atau mengikut kemahiran anjing-anjing tersebut.
Pada masa yang sama, pihak JBPM juga turut mengadakan latihan khas iaitu latihan penyesuaian (acclimation) bertujuan memberi penyesuaian terhadap persekitaran seperti suhu, cuaca dan bentuk muka bumi dan juga latihan mewujudkan hubungan atau ikatan (bonding) iaitu proses untuk merapatkan hubungan di antara anjing dan pemegang anjing yang dilaksanakan selama 60 hari supaya anjing ini boleh beroperasi dengan efektif dan optimum.
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, latihan ini juga meliputi tiga tahap iaitu latihan asas, pertengahan dan juga lanjutan serta diberi latihan simulasi senario operasi penyelamatan seperti mencari dan menyelamat mangsa bencana tanah runtuh, kes mangsa yang hilang dan penyiasatan kebakaran bagi memastikan anjing ini cekap dan dapat memberi output terbaik mengikut situasi kecemasan.
Pihak kementerian ingin menegaskan bahawa tahap kesihatan anjing ini sentiasa dipantau dan pemeriksaan kesihatan tahunan akan dilaksanakan bagi mematuhi Perkara Perintah Tetap Ketua Pengarah JBPM Bilangan 2 Tahun 2001. Anjing ini akan menjalani pemeriksaan kesihatan, rawatan gigi (scaling) dan juga diberi suntikan vaksin yang dicadangkan oleh doktor veterinar setiap tahun. Setelah usia anjing melebihi 10 tahun, anjing tersebut akan menjalani proses imbasan x-ray, pemeriksaan pinggul atau pinggang, jantung dan lain-lain meliputi pemeriksaan darah, sel darah dan keadaan buah pinggang.
Bagi tujuan pelupusan anjing-anjing pengesan yang dikategorikan sebagai aset hidup adalah dengan merujuk kepada arahan yang saya boleh detailkan pada Yang Berhormat. Walau bagaimanapun, kalau boleh, Tuan Yang di-Pertua, anjing ini tidak akan dimusnahkan oleh JBPM walaupun selepas usia haiwan tersebut mencapai 10 tahun.
iaitu, dengan Izin Tuan Yang di-Pertua
Sebaliknya atas dasar penghargaan kepada khidmat aset hidup ini, maka JBPM telah mengurus kebajikan anjing-anjing daripada segi tempat tinggal, makanan, pemeriksaan kesihatan, dan juga pemberian suplemen tambahan selepas ditamatkan daripada perkhidmatannya.
Kesimpulannya, anjing-anjing pengesan ini hanya akan dilupuskan sekiranya menderita penyakit kronik tahap kesihatan kritikal atau uzur. Cadangan pelupusan ini akan dibuat hanya setelah mendapat nasihat daripada pihak veterinar. Sekian, terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato' Ramli bin Dato' Mohd Nor
Soalan tambahan Yang Berhormat Seputeh.
Puan Teresa Kok Suh Sim - Seputeh
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua dan juga jawapan daripada Yang Berhormat Timbalan Menteri. Tujuan saya tanyakan soalan ini adalah kerana apa yang saya tuliskan di sini apa yang saya dengar daripada mereka yang sayangi anjing.
Tuan Yang di-Pertua, saya ingin bertanyakan kepada Yang Berhormat Timbalan Menteri. Memandangkan masalah perubahan iklim sekarang, kita lihat akan berlakunya lebih banyak banjir, lebih insiden tanah runtuh di merata-rata tempat termasuk negara kita.
Jadi, adakah kementerian mempunyai rancangan untuk mengadakan lebih pegawai penyelamat dan juga anjing penyelamat memandangkan ini memanglah satu trend yang malapetaka seperti ini yang berlaku di merata-rata dunia?
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Yang Berhormat Timbalan Menteri.
Tuan Haji Akmal Nasrullah bin Mohd Nasir
Terima kasih Yang Berhormat Seputeh atas keprihatinan. Melihat kepada keperluan bagi pihak Jabatan Bomba, memang kalau kita lihat untuk sejarahnya yang terdekat, kita juga menghantar pasukan anjing ini ke kejadian tanah runtuh di Batang Kali dan kemudian juga dua ekor Denti dan Frankie telah dihantar ke Turkiye untuk membantu misi penyelamatan. Seperti yang disebut tadi, memang kita dalam proses perolehan 12 ekor anjing tetapi ini lebih kepada penggantian yang sedia ada.
Akan tetapi, hakikatnya memang peningkatan risiko seperti bencana tanah runtuh, keruntuhan bangunan dan penyiasatan kebakaran ini, terutamanya macam Yang Berhormat sebut soal perubahan iklim, juga menyebabkan risiko itu mungkin bertambah.
Jadi kalau di peringkat jabatan sendiri, memang mereka ada perancangan.
Cuma di peringkat kementerian pula, kita sememangnya komited. Maka perancangan yang diselaraskan oleh peringkat Jabatan Bomba ini, kita akan majukan ke Kementerian Kewangan untuk pertimbangan sebab kalau dari segi pusat kita tadi, kita ada tiga buah sahaja iaitu di Sabah, Sarawak dan Kuala Lumpur. Mungkin juga ada keperluan di sebelah kawasan selatan mahupun di utara.
Sekian, terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato' Ramli bin Dato' Mohd Nor
Yang Berhormat Kubang Kerian.
Dato' Sri Tuan Ibrahim bin Tuan Man - Kubang Kerian
Terima kasih kerana jawapan yang diberi. Persoalan saya ialah tentang apakah pihak kerajaan tidak bercadang untuk menggunakan anjing di kawasan sempadan yang kita dapati banyak meningkatnya kadar penyeludupan? Walaupun agak lari sedikit daripada soalan asal, tetapi bagi saya adalah peranan fungsi anjing tersebut dapat digunakan.
Saya fikir antara binatang yang paling efektif dalam mengesan bau ialah anjing berbanding binatang-binatang lain. Soalan saya ialah apakah kerajaan juga berhasrat untuk melebar luaskan peranan ia di kawasan-kawasan yang kritikal, khususnya di kawasan sempadan? Terima kasih.
Tuan Haji Akmal Nasrullah bin Mohd Nasir
Terima kasih Yang Berhormat.
Tadi saya jawab rumah, sekarang saya jawab fasal anjing pula.
Tuan Haji Akmal Nasrullah bin Mohd Nasir
Yang mana kalau kita lihat anjing di bawah Unit K9 di bawah pengelolaan Jabatan Bomba dan Penyelamat, fungsinya tertumpu kepada empat perkara tadi, iaitu lebih kepada soal urban disaster search and rescue, misi mencari dan menyelamat juga soal penyiasatan kebakaran (fire investigation). Jadi, tanggungjawab bomba ini tertumpu kepada misi penyelamatan.
Manakala untuk soalan Yang Berhormat tadi, ia lebih sesuai untuk ditujukan kepada unit anjing yang mungkin berada di bawah peringkat penguat kuasa yang lainlah sama ada tentera mahupun di peringkat polis. Sebab, bila untuk tujuan tanah runtuh sebagai contoh, kalau Yang Berhormat perhatikan, disebabkan benda ini sudah menjadi viral trend, anjing bomba ini pun nampak dia comel sedikit, ia kecil untuk memudahkan masuk ke kawasan tanah runtuhan. Dia berbeza dengan anjing yang kita dapatkan untuk tujuan operasi yang lain. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Dato' Dr. Haji Alias bin Razak - Kuala Nerus
Terima kasih Tuan Yang di- Pertua, Tebang sawit tanam buluh, Soalan saya nombor sepuluh.
10. Dato' Dr. Haji Alias bin Razak [Kuala Nerus] minta Menteri Kesihatan menyatakan perancangan kementerian untuk memperkasakan talian aduan merokok ekoran rungutan rakyat bahawa aduan melalui talian tersebut tidak mendapat tindakan susulan yang sewajarnya.
Timbalan Menteri Kesihatan - Tuan Lukanisman bin Awang Sauni
Terima kasih Yang Berhormat Kuala Nerus. Saya tiada pantun untuk menjawab, Tuan Yang di- Pertua.
Susulan pewartaan larangan merokok di tempat makan di bawah Peraturan 11(1)(d) Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 (Pindaan) 2018, Kementerian Kesihatan Malaysia telah memulakan talian aduan bermula Januari 2019.
Sebarang aduan merokok di tempat makan boleh disalurkan melalui aplikasi WhatsApp di talian 010-8608949.
Setiap aduan yang diterima akan diverifikasi oleh Bahagian Kawalan Penyakit KKM dan disalurkan ke lapangan untuk tindakan penguatkuasaan selanjutnya. Bagi aduan berulang iaitu aduan yang diterima bagi premis yang sama bagi melebihi dua kali ke atas, tindakan serta-merta akan dilaksanakan dengan memaklumkan kepada penguat kuasa KKM di lapangan untuk tindakan segera.
KKM amat prihatin dengan aduan yang diterima, terutamanya bagi aduan berulang. Sebagai contoh, pada tahun 2022, KKM telah menerima sebanyak 7,291 aduan membabitkan 5,030 buah premis di tempat makan, di mana 1,233 buah premis dengan aduan yang berulang. Sebanyak 1,265 buah premis kawasan larangan merokok telah diperiksa dan sebanyak 30,648 notis kesalahan di tempat makan di bawah Peraturan 11(1)(d) telah dikeluarkan degan nilai kompaun berjumlah RM7.6 juta.
Untuk makluman Dewan juga, bagi tempoh 1 Januari 2023 sehingga 19 Januari 2023 sahaja, KKM telah menerima sebanyak 587 aduan membabitkan 545 buah premis tempat makan di mana 40 buah premis dengan aduan yang berulang. Sebanyak 5,213 premis kawasan larangan merokok telah diperiksa dan sebanyak 3,376 notis kesalahan merokok telah dikeluarkan dengan nilai jumlah kompaun berjumlah RM844,750.
Timbalan Menteri Kesihatan - Tuan Lukanisman bin Awang Sauni
Berdasarkan aduan yang telah direkodkan dan dianalisis, beberapa tindakan penambahbaikan telah dan akan dilaksanakan. Antaranya, penyelarasan mekanisme maklum balas tindakan kepada pengadu khususnya bagi lokasi hotspot akan ditambah baik, sesi libat urus dengan persatuan-persatuan pengusaha tempat makan bagi memastikan kepatuhan mereka terhadap larangan merokok ini dan ketiga, advokasi dan
Timbalan Menteri Kesihatan - Tuan Lukanisman bin Awang Sauni
pendidikan kesihatan berkaitan dengan larangan merokok khususnya di tempat makan akan terus dipergiatkan bagi memastikan orang ramai mematuhi peraturan ini.
Bagi maklumat tambahan kepada Yang Berhormat Kuala Nerus, bagi negeri Terengganu, aduan penguatkuasaan yang diterima melalui WhatsApp adalah aduan larangan merokok sebanyak 94 kes, premis dengan aduan berulang adalah tujuh kes, premis diperiksa adalah berjumlah 26,980 dan notis yang dikeluarkan adalah sebanyak 2,141 notis.
Untuk makluman Dewan juga, complaint ataupun aduan melalui WhatsApp ini kita tidak dapat buat secara real-time. Contohnya sekarang kita mesej WhatsApp, kita terus dalam tempoh 15 minit, penguat kuasa kita terus ke hotspots yang diadukan. Kita akan membuat analisa dan mengenal pasti hotspots dan penguat kuasa kita akan turun ke padang.
Untuk makluman Dewan, saya ingin memasukkan jawapan di mana penguatkuasaan yang kita terima daripada penguatkuasaan, kita juga turut menerima ancaman kepada menghalang tugas terhadap petugas penguatkuasaan. Daripada 23 kes sepanjang tahun 2022, 17 kes berlaku semasa pelaksanaan operasi penguatkuasaan Peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004.
Penguat kuasa kita di lapangan adalah untuk menguat kuasa, tetapi bukan hanya sekadar menghukum ataupun menangkap tetapi ingin mengguna akta yang sedia ada untuk mengelak ketidaksenangan pengunjung-pengunjung pusat makanan untuk menghidu asap rokok di tempat makan. Sekian, terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato' Ramli bin Dato' Mohd Nor
Soalan tambahan, Yang Berhormat Kuala Nerus.
Dato' Dr. Haji Alias bin Razak - Kuala Nerus
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua dan terima kasih Yang Berhormat Timbalan Menteri dengan jawapan yang agak komprehensif. Cuma apa yang kita sedia maklum, memang kita dah faham tentang kesan asap rokok khususnya kepada diri sendiri itu satu hal, tetapi yang penting kepada persekitaran, kepada orang yang berada di sekeliling yang kita panggil passive smoker inilah, dengan izin.
Ini yang dibimbangkan oleh masyarakat, seterusnya timbul masalah aduan lambat bertindak. Ia juga bukan hanya kesan kepada perokok ataupun persekitaran, tetapi kesan kepada ekonomi juga. Ini kerana mengikut laporan tahun 2020, kerajaan membelanjakan RM6.2 bilion untuk merawat pesakit yang ada hubung kait dengan asap rokok ini sedangkan hasil yang dikutip sekitar RM3 bilion sahaja pada tahun 2020.
Jadi, apa yang saya nak tekankan di sini daripada segi ekonominya pun kita terkesan, kesihatan pun kita terkesan, beban kepada pihak KKM juga besar dan kita pun telah banyak buat kempen-kempen. Contoh kalau kita bagi, Kawasan Larangan Merokok.
Kita ada pewartaan Kawasan Larangan Merokok, KL Bebas Asap Rokok. Kalau di Terengganu, kita ada TBAR (Terengganu Bebas Asap Rokok) yang telah dilaksanakan sejak Februari 2014 lagi, tetapi hasilnya tidak begitu memberangsangkan. Adakah ini..
Timbalan Yang di-Pertua - Dato' Ramli bin Dato' Mohd Nor
Yang Berhormat, Yang Berhormat, soalan.
Dato' Dr. Haji Alias bin Razak - Kuala Nerus
Soalan saya adalah adakah penguatkuasaan yang agak tidak menyeluruh ini kerana kekurangan kakitangan penguatkuasaan ataupun daripada segi peruntukan yang tidak mencukupi kepada KKM untuk melaksanakan penguatkuasaan yang lebih tegas lagi kepada mereka yang merokok khususnya di tempat awam, di tempat rekreasi dan sebagainya. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato' Ramli bin Dato' Mohd Nor
Silakan Yang Berhormat Menteri.
Tuan Lukanisman bin Awang Sauni
Terima kasih Yang Berhormat Kuala Nerus. Saya bersetuju dengan pandangan Yang Berhormat Kuala Nerus berkenaan tentang perbelanjaan yang telah kita belanjakan untuk merawat dan juga membanteras aktiviti-aktiviti merokok ini. Oleh sebab itu di peringkat kementerian dan juga berdasarkan
Tuan Lukanisman bin Awang Sauni
pengumuman yang terbaru oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, apabila ingin memperkenalkan satu cukai untuk vape dalam ucapan beliau dimasukkan berkenaan tentang generational end game (GEG), berkenaan satu akta rang undang-undang anti- tembakau.
Saya mengharapkan agar pembentangan GEG ini akan dapat dijayakan dan mendapat sokongan di dalam Dewan. Dengan cara ini, kita dapat menghasilkan satu generasi baharu, kelompok baharu di mana pengharaman ataupun penamatan perokok- perokok apabila mencecah usia 18 tahun dikuatkuasakan, kita akan dapat mengurangkan generasi yang merokok.
Sudah pasti kita mengalami kekurangan penguatkuasaan. Walaupun demikian, kita sedaya mungkin menggunakan data-data, aduan-aduan sebanyak 48,000 sepanjang tahun 2022, kita akan analisa dan kita akan kenal pasti dan menghantar penguat kuasa kita ke hotspots dan untuk membuat penguatkuasaan. Itu adalah ikhtiar daripada KKM.
Sekian, terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato' Ramli bin Dato' Mohd Nor
Soalan di sebelah kanan. Sila tekan Yang Berhormat Kota Melaka.
Tuan Khoo Poay Tiong - Kota Melaka
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Soalan tambahan saya ialah Yang Berhormat Menteri, banyak usaha yang telah dijalankan oleh pihak kementerian untuk mengatasi larangan merokok ini. Akan tetapi saya ingin meminta perhatian Yang Berhormat Menteri, kita jangan pergi terlalu jauh. Kita tumpukan bangunan Parlimen sahaja. Kita lihat ada ramai yang masih merokok, sungguhpun bangunan Parlimen adalah tempat dilarang merokok. Kita lihat di bilik vape juga, ramai yang merokok dalam bilik vape.
Saya rasa kita harus menunjukkan satu contoh yang baik kepada semua. Kita ialah wakil rakyat. Apakah pandangan daripada Yang Berhormat Timbalan Menteri, usaha yang harus kita lakukan terhadap perokok untuk kita berikan pendidikan kepada mereka?
Kalau mereka nak merokok, biarlah pergi ke luar sana untuk merokok. Jangan menyusahkan orang lain. Terima kasih Yang Berhormat Timbalan Menteri.
Tuan Lukanisman bin Awang Sauni
Saya bersetuju dengan pandangan Yang Berhormat Kota Melaka. Saya kenali beliau agak konsisten berkenaan tentang larangan merokok di ruang Parlimen dan juga untuk menjadi contoh yang baik, kita haruslah menjadi wakil rakyat yang menunjukkan sikap yang terpuji. Saya menasihatkan kepada rakan-rakan Parlimen bagi yang masih lagi merokok, kalau boleh kita buangkanlah tabiat merokok itu. Akan tetapi sekiranya ingin diteruskan, pergilah ke ruang merokok yang bersesuaian dan jangan merokok di kawasan yang berdekatan dengan ruang pejabat dan di dalam bangunan Parlimen.
Saya akan edarkan satu infografik, nombor-nombor larangan merokok. Ahli-ahli Parlimen yang ingin membuat aduan, boleh juga WhatsApp ke 010-8608949. Saya ucapkan terima kasih atas keprihatinan Yang Berhormat Kota Melaka memberi teguran kepada perokok-perokok di kawasan Parlimen. Sekian, terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato' Ramli bin Dato' Mohd Nor
Kita beralih ke soalan yang ke-11, Tuan Haji Ahmad Johnie bin Zawawi, Yang Berhormat Igan.
11. Tuan Haji Ahmad Johnie bin Zawawi [Igan] minta Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menyatakan apakah perancangan kementerian dalam menaik taraf jalan-jalan luar bandar di Sarawak termasuk di kawasan Parlimen Igan yang kebanyakannya rosak dan apakah projek-projek yang akan dilaksanakan di kawasan Parlimen Igan di dalam RMKe-12?
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah - Datuk Rubiah binti Haji Wang
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Terima kasih Yang Berhormat Igan atas soalan ini. Untuk makluman Yang Berhormat, sebanyak 76 projek jalan luar bandar dengan kos berjumlah RM6.4 bilion telah diluluskan untuk wilayah Sarawak di bawah Bajet 2023.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah - Datuk Rubiah binti Haji Wang
Terdapat satu projek jalan luar bandar yang telah diluluskan di kawasan Parlimen Igan iaitu Projek Jalan Kampung Bungan Besar/Jalan Ladang di Rasau, bahagian Mukah, Sarawak. Projek ini telah diluluskan di bawah Rolling Plan Keempat Rancangan Malaysia Kesebelas dengan kos sebanyak RM25 juta. Skop projek ini adalah membina jalan sepanjang 5.8 Kilometer dengan spesifikasi JKR R2. Agensi pelaksana bagi projek ini adalah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sarawak dan status projek ini masih di peringkat reka bentuk. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato' Ramli bin Dato' Mohd Nor
Yang Berhormat Igan, soalan tambahan.
Tuan Haji Ahmad Johnie bin Zawawi - Igan
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Terima kasih Yang Berhormat Timbalan Menteri atas jawapan yang diberikan. Soalan tambahan saya ialah selain menaik taraf jalan luar bandar, adakah kementerian mempunyai inisiatif untuk menaikkan taraf jalan-jalan kampung di Sarawak termasuk di Parlimen Igan? Terima kasih.
Datuk Rubiah binti Haji Wang
Untuk makluman Yang Berhormat, selain naik taraf jalan ataupun membina ataupun naik taraf jalan luar bandar, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah juga melaksanakan projek jalan perhubungan desa bagi memastikan keperluan pembangunan khasnya jalan-jalan kampung dilaksanakan dengan sebaiknya.
Datuk Rubiah binti Haji Wang
Sebanyak RM596.25 juta kos Projek Jalan Penghubungan Desa bagi negeri Sarawak telah diperuntukkan di bawah RMKe-12. Pada tahun 2022, peruntukan ini berjumlah RM100 juta untuk wilayah Sarawak dan sebanyak RM2.29 juta telah digunakan pelaksanaannya di Parlimen Igan.
Jadi, untuk makluman Yang Berhormat, sekiranya ada cadangan-cadangan jalan pembangunan desa di kawasan Yang Berhormat yang agak kritikal bolehlah dikemukakan kepada Unit Perancangan Ekonomi untuk siasatan awal dan untuk kita laksanakan ataupun diluluskan selepas ini. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato' Ramli bin Dato' Mohd Nor
Sebelah kiri, silakan.
Tuan Ahmad Tarmizi bin Sulaiman - Sik
Sik, Tuan Yang di-Pertua.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato' Ramli bin Dato' Mohd Nor
Yang Berhormat wanita itu tadi. Saya nampak, Yang Berhormat tidak mahu? Saya nampak Yang Berhormat bangun dulu. Sebelah sana. Yang Berhormat Kuala Krau.
Tuan Ahmad Tarmizi bin Sulaiman - Sik
Kalau tidak mahu, Sik mohon kalau tidak mahu.
Tuan Kamal bin Ashaari - Kuala Krau
Sila. Sila. Yang Berhormat Kapar, sila.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato' Ramli bin Dato' Mohd Nor
Yang Berhormat.
Dr. Hajah Halimah Ali - Kapar
Terima kasih, Tuan Yang di-Pertua.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato' Ramli bin Dato' Mohd Nor
Yang Berhormat mana ini? Yang Berhormat...
Seorang Ahli
Yang Berhormat Kapar.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato' Ramli bin Dato' Mohd Nor
Yang Berhormat Kapar. Yang Berhormat baru ini saya tidak berapa cam. Yang Berhormat Kapar, silakan.
Dr. Hajah Halimah Ali - Kapar
Saya mengucapkan tahniah kepada Yang Berhormat Igan kerana begitu prihatin tentang infrastruktur. Akan tetapi saya juga mahu sekalilah kepada Menteri di mana infrastruktur ini bukan sahaja di Sabah, Sarawak itu yang dikatakan negeri yang paling kaya seperti Selangor ini pun ada masalah. Jadi, kalau boleh lihatlah secara overall minta kepada Yang Berhormat, adakah itu diambil kira ataupun hanya spontan mana-mana yang bertanya itu sahaja yang diberikan. Saya menjurus ke Kapar lah.
Datuk Rubiah binti Haji Wang
Terima kasih Yang Berhormat Kapar.
Sebenarnya tadi saya menjawab soalan yang lebih bersifat khusus yang mana memfokuskan Parlimen Igan dan juga negeri Sarawak. Namun begitu maklumat projek jalan luar bandar dan juga jalan pembangunan desa ini kita buat di seluruh negeri di Malaysia. Cuma, rekodnya pada saya hari ini, hanya untuk Sarawak. Ini khususnya untuk kawasan Parlimen Kapar tidak ada. Kemungkinan selepas ini saya boleh jawab secara bertulis. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato' Ramli bin Dato' Mohd Nor
Terima kasih Yang Berhormat Timbalan Menteri. Yang Berhormat sekarang tamatlah...
Dr. Hajah Halimah Ali - Kapar
Tuan Yang di-Pertua, sebelum kita teruskan sesi, saya mahu minta petua kepada Tuan Yang di-Pertua. Ini berkenaan dengan pengurusan Dewan ini.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato' Ramli bin Dato' Mohd Nor
Perkara, peraturan.
Dr. Hajah Halimah Ali - Kapar
Saya mahu bertanya petua sahaja pada Tuan Yang di-Pertua sebab saya memang ada menerima ini tadi dari Bahagian Pengurusan Dewan Rakyat, Parlimen Malaysia...
Timbalan Yang di-Pertua - Dato' Ramli bin Dato' Mohd Nor
Ya.
Dr. Hajah Halimah Ali - Kapar
...Tentang notis akuan penerimaan iaitu respons kepada ucapan. Pemberitahuan Pertanyaan Dewan Rakyat Mesyuarat Pertama, Penggal Kedua, Parlimen Kelima belas, Pertanyaan Perbahasan Titah Diraja daripada Dr. Hajah Halimah Ali, Kapar. Soalannya yang diberi kepada saya, yang pertama tadi bagus. Dia jawab tentang Hospital Kapar, terima kasih Menteri Kesihatan. Terima kasih.
Kedua ini Tuan Yang di-Pertua, yang saya mahu minta petua ini daripada Tuan Yang di-Pertua ialah soalannya dia tulis kekhuatiran makanan yang dijenamakan di bawah Menu Rahmah untuk golongan B40...
Timbalan Yang di-Pertua - Dato' Ramli bin Dato' Mohd Nor
Ini daripada- Yang Berhormat...
Dr. Hajah Halimah Ali - Kapar
...Diperbuat daripada makanan berkualiti rendah dan penyediaannya tidak bersih. Saya mahu tanya petua kepada Tuan Yang di-Pertua sedangkan saya tidak sebut langsung di bawah Menu Rahmah. Jadi, soalan jawapannya ini lah. Bila soalannya sudah tidak betul, tidak difahami oleh Yang Berhormat Menteri, maka jawapannya, saya bimbang macam mana yang comprehension dalam SPM kalau soalan yang tadi salah difahamkan, maka sudah tentu jawapannya tidak betul, Tuan Yang di-Pertua.
Jadi, macam mana saya mahu jawab memberi respons ini macam mana ini, Tuan Yang di-Pertua?
Timbalan Yang di-Pertua - Dato' Ramli bin Dato' Mohd Nor
Okey, duduk.
Dr. Hajah Halimah Ali - Kapar
Terima kah macam mana ini?
Timbalan Yang di-Pertua - Dato' Ramli bin Dato' Mohd Nor
Okey, duduk.
Baik, duduk Yang Berhormat.
Dr. Hajah Halimah Ali - Kapar
Saya minta Yang Berhormat Menteri...
Timbalan Yang di-Pertua - Dato' Ramli bin Dato' Mohd Nor
Saya boleh jelaskan.
Dr. Hajah Halimah Ali - Kapar
...Tengok betul-betul sebab kesannya dekat luar.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato' Ramli bin Dato' Mohd Nor
Saya boleh jawab.
Okey, yang pertamanya Yang Berhormat ada dua pilihan. Bila dapat jawapan itu, ada dua pilihan. Sebelum itu saya mahu nasihatkan, bila bangun sila nyatakan peraturan mana, itu satu.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato' Ramli bin Dato' Mohd Nor
Yang dua lagi, apa-apa perkara yang telah dijawab Yang Berhormat tidak puas hati boleh dibangkitkan lihat Peraturan 43, Peraturan 18. Selain daripada itu, perkara Yang Berhormat bangkitkan itu jika tidak puas hati masa Menteri menjawab nanti, masa Menteri yang menjawab boleh Yang Berhormat bangkitkan. Itu petua saya. Faham, ya?
Dr. Hajah Halimah Ali - Kapar
Terima kasih, terima kasih. Orang baru, newbie. Tidak ada- Ini jawapannya dah. Tidak sempat dah.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato' Ramli bin Dato' Mohd Nor
Tidak mengapa.
Bagus, bagus, bagus, Yang Berhormat. Bila Yang Berhormat tidak faham, bertanya.
Dr. Hajah Halimah Ali - Kapar
Terima kasih, Tuan Yang di-Pertua.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato' Ramli bin Dato' Mohd Nor
Kalau tidak bertanya, sesat jalan. Itu yang jadi cacamarba dalam Dewan ini.
Seorang Ahli
Tahniah Tuan Yang di-Pertua.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato' Ramli bin Dato' Mohd Nor
Ya?
Seorang Ahli
Tahniah, tahniah Tuan Yang di-Pertua.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato' Ramli bin Dato' Mohd Nor
Faham, ya? Itu caranya. Okey.
Dato’ Seri Dr. Shahidan bin Kassim - Arau
Saya mohon bawah 18(1).
Timbalan Yang di-Pertua - Dato' Ramli bin Dato' Mohd Nor
Yang Berhormat, saya sudah dapat.
Dato’ Seri Dr. Shahidan bin Kassim - Arau
Okey.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato' Ramli bin Dato' Mohd Nor
Untuk makluman Yang Berhormat Arau, usul Yang Berhormat telah ditolak di bawah 18(1). Selain daripada itu, jika Yang Berhormat tidak puas hati sila rujuk pada Peraturan 43. Boleh buat usul lagi sebagai rayuan.
Dato’ Seri Dr. Shahidan bin Kassim - Arau
Tuan Yang di-Pertua, ini usul baharu.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato' Ramli bin Dato' Mohd Nor
Usul baharu, sila buat sebagaimana dalam 18 atau 43. Tulis.
Dato’ Seri Dr. Shahidan bin Kassim - Arau
18(1), Ahli Yang Berhormat boleh berdiri di tempatnya untuk membawa usul itu. Jadi, saya bawa itu esok baharu saya bertulis. Saya sekarang bawa usul itu. Usulnya ialah berhubung dengan import telur yang telah diberi kepada satu pengimport.
Jadi, oleh sebab Yang Amat Berhormat Perdana Menteri telah sebut bahawa semuanya akan dibuat secara tender terbuka. Jadi, kami mahu tahu siapakah yang mengimport telur. Jadi, perkara ini perlu disegerakan sebab rakyat ingin mengetahui kerana orang yang mengimport itu orang yang telah mendapat jenama dalam masyarakat yang sering terlibat dengan pembesar-pembesar. Jadi, itu sebab perlu disegerakan.
Rakyat tanya saya. Jadi, macam mana saya tahu, saya tidak tahu. Jadi, saya rasa patut saya bawa 18(1) siapakah pengimport telur? Keduanya, berapa harganya?
Timbalan Yang di-Pertua - Dato' Ramli bin Dato' Mohd Nor
Okey, faham Yang Berhormat.
Dato’ Seri Dr. Shahidan bin Kassim - Arau
Jadi, yang itu saya mahu bawa 18(1). Apakah Tuan Yang di-Pertua bersetuju, saya akan buat menulis nanti.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato' Ramli bin Dato' Mohd Nor
Yang Berhormat Arau nak masuk enam penggal ya. Buku peraturan itu saya rasa dah hadam sudah. Jadi, saya mohon Yang Berhormat tahu peraturannya, 18, 43, 17. Saya cadangkan Yang Berhormat buat secara bertulis kerana Tuan Yang di-Pertua terpaksa melihat balik apa usul itu.
Dato’ Seri Dr. Shahidan bin Kassim - Arau
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato' Ramli bin Dato' Mohd Nor
Bagus Yang Berhormat kerana yang ini bagi Yang Berhormat-Yang Berhormat yang baharu ini ambil maklum. Dalam peraturan ini sebagai- ini saya ambil beberapa minit. Yang Berhormat tekankan 35, 36, 37. Itu kita bercakap dalam Dewan ini. Jika berlaku juga keputusannya adalah atas Pengerusi, Peraturan 44, Peraturan 99, 99A, senang. Kalau kita dengan izin abide by two tidak adalah masyarakat di luar itu panggil kita zoo. Terima kasih. Kita teruskan kepada agenda aturan yang selanjutnya.
Yang Berhormat, sekarang tamatlah sesi untuk waktu pertanyaan-pertanyaan bagi jawapan lisan pada hari ini. Terima kasih Yang Berhormat yang telah mengambil bahagian.
[Sesi untuk Pertanyaan-pertanyaan bagi Jawab Lisan tamat]
Aturan Urusan Mesyuarat dibacakan bagi menyambung semula perbahasan yang ditangguhkan atas masalah “Bahawa Rang Undang-undang Perbekalan 2023 dibacakan kali yang kedua sekarang” dan “Bahawa Usul yang berikut ini dirujuk kepada Jawatankuasa sebuah-buah Majlis.” “Bahawa Dewan ini, menurut subseksyen 4(3) Akta Kumpulan Wang Pembangunan 1966 [Akta 406], membuat ketetapan bahawa suatu jumlah wang sebanyak tidak lebih dari sembilan puluh sembilan bilion ringgit (RM99,000,000,000) dibelanjakan daripada Kumpulan Wang Pembangunan bagi tahun 2023, dan bagi tujuan dan butiran Perbelanjaan Pembangunan yang dinyatakan di bawah Maksud Pembangunan atau (“P”) dalam senarai Anggaran Perbelanjaan Persekutuan 2023, yang dibentangkan sebagai Kertas Perintah 19 Tahun 2023, adalah diuntukkan di bawah Maksud-maksud yang berkenaan jumlah-jumlah yang bersetentangan dengan butiran-butiran itu di ruangan enam dan tujuh senarai tersebut, dan bahawa Usul yang telah diluluskan oleh Dewan ini pada 20 Disember 2022 mengenai perbelanjaan yang dibelanjakan daripada Kumpulan Wang Pembangunan bagi tahun kewangan 2023 adalah dibatalkan dan hendaklah disahkan.” [1 Mac 2023]
Timbalan Yang di-Pertua - Dato' Ramli bin Dato' Mohd Nor
Yang Berhormat- yang berhormat, senarai untuk perbahasan berada di depan saya. Saya akan bacakan sehingga senarai ke-17. Mereka yang akan terlibat adalah Yang Berhormat Kluang, Yang Berhormat Putrajaya, Yang Berhormat Wangsa Maju, Yang Berhormat Pengkalan Chepa, Yang Berhormat Betong, Yang Berhormat Kuala Kedah, Yang Berhormat Bukit Bintang, Yang Berhormat Merbok, Yang Berhormat Tampin, Yang Berhormat Jerantut, Yang Berhormat Pasir Gudang, Yang Berhormat Kuala Langat, Yang Berhormat Kapar, Yang Berhormat Maran, Yang Berhormat Libaran, Yang Berhormat Hulu Selangor. Jika kita ada waktu, akan disambung dengan sedemikian.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato' Ramli bin Dato' Mohd Nor
Masa yang diperuntukkan adalah 12 minit. Walau bagaimanapun adalah atas budi bicara Pengerusi yang mempengerusikan Mesyuarat untuk menentukan. Saya mulakan dengan Yang Berhormat Kluang, dipersilakan 12 minit.
Puan Wong Shu Qi - Kluang
Terima kasih atas peluang untuk saya ambil bahagian dalam perbahasan Belanjawan 2023. Saya ingin ucapkan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Menteri Kewangan kerana telah membentangkan satu belanjawan menunjukkan hala tuju pembangunan sektor ekonomi yang jelas kepada rakyat kita.
Contohnya, RM50 juta geran sempadan untuk peladang melaksanakan automasi. Sektor perladangan dan komoditi adalah penting untuk KDNK negara kita.
Peningkatan penggunaan robotik dan kecerdasan buatan adalah amat penting sekiranya kita mahu mengurangkan kebergantungan kepada buruh asing, malah meningkatkan produktiviti dan juga penghasilan. Saya telah banyak kali bangkitkan isu ini dalam penggal yang lepas dan akhirnya dimasukkan ke dalam belanjawan kali ini. Ini membuktikan bahawa Kerajaan Perpaduan ini tak sama dengan kerajaan dulu yang hanya tahu mengikut jalan lama [Tepuk] dan langsung tidak mempunyai iltizam politik untuk memacu inovasi. Syabas Yang Amat Berhormat Tambun.
Tuan Yang di-Pertua, salah satu isu penting yang saya mahu bangkitkan di sini adalah tentang reformasi institusi Parlimen. Walaupun belanjawan Parlimen tersenarai sebagai satu bab tersendiri dalam buku belanjawan tetapi daripada segi pengambilan kakitangan dan pengurusannya seolah-olahnya, saya sebut “seolah-olah” sebab ini persepsi. Parlimen kita dilihat seolah-olahnya hanya sama status dengan sebuah jabatan di bawah kementerian. Sudah tentu ini tak benar. Parlimen merupakan satu daripada tiga bahagian penting setara dengan bahagian eksekutif dan kehakiman.
Akan tetapi malangnya persepsi itu sudah jadi sebegitu. Saya berharap Akta Perkhidmatan Parlimen akan digubal semula dalam penggal ini. Jangan kita tunggu lagi, sudah tiba masanya bagi semua Yang Berhormat dalam Dewan yang mulia ini bekerjasama demi memperkasakan institusi Parlimen. Pastikan setiap jawatankuasa pilihan khas mempunyai kakitangan yang mencukupi untuk menjalankan tugas. Ahli-ahli Yang Berhormat boleh menyumbang idea, pandangan serta kritikan juga yang bernas bukan sahaja di dalam Dewan yang mulia ini tetapi juga di setiap prosiding jawatankuasa.
Di Parlimen, negara lain yang mempunyai sistem yang sama dengan Malaysia juga, jawatankuasa memainkan peranan jauh lebih penting dalam institusi Parlimen mereka. Ahli Parlimen negara lain juga tidak berada, tidak duduk sepanjang masa dalam Dewan ketika mereka bersidang. Ini kerana tugasan jawatankuasa di mana-mana Ahli- ahli Yang Berhormat dapat meneliti, menyoal, mengkritik, malah menambah baik dasar yang dilaksanakan oleh pihak pentadbiran.
Ada juga Parlimen di luar negara yang menetapkan dua hari setiap minggu, khusus untuk prosiding jawatankuasa sahaja. Paling penting sekali, prosiding jawatankuasa juga disiar langsung atas talian. Jadi, Ahli-ahli Yang Berhormat bukan sahaja boleh berucap dalam Dewan yang mulia ini, malah Yang Berhormat-Yang Berhormat boleh menunjukkan persefahaman tentang isu tertentu atau pun kebijaksanaan anda dalam jawatankuasa demi penambahbaikan dasar negara kita.
Malangnya, sistem jawatankuasa pilihan khas kita sekarang masih jauh daripada menyeluruh. Malah kita tidak mempunyai kakitangan yang mencukupi selain daripada untuk menguruskan hal ehwal Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara. Untuk memastikan Ahli-ahli Yang Berhormat boleh memainkan peranan yang lebih bermakna. Saya minta kerajaan menggubal semula Akta Perkhidmatan Parlimen dengan kadar segera.
[Tepuk] Tuan Yang di-Pertua, sebuah kerajaan yang bertanggungjawab perlu bersikap jujur dan telus kepada semua. Kita tahu keadaan ekonomi adalah mencabar. Justeru Yang Amat Berhormat tidak membentangkan satu belanjawan gula-gula yang hanya berhasrat
Puan Wong Shu Qi - Kluang
memancing undi dan sudah tentu tidak bertanggungjawab kalau dilihat daripada aspek kemapanan masa depan rakyat dan negara.
Paling penting sekali, kita tidak boleh mengamalkan amalan kreatif accounting dalam penyediaan laporan perbelanjaan kita. Perkara seperti perkhidmatan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam seharusnya kekal sebagai perbelanjaan mengurus.
Namun kerajaan terdahulu yang tidak bertanggungjawab telah membuat pengelasan semula dan memindah perkara tersebut ke perbelanjaan pembangunan.
Tuan Yang di-Pertua, Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2021 telah mendedahkan bahawa kerajaan sebelum ini telah melakukan pengelasan semula ke atas 41 projek yang melibatkan jumlah RM8.71 bilion iaitu sebanyak 14 peratus daripada perbelanjaan pembangunan tahun 2021. Kalau berbanding dengan tahun 2020, kadar peningkatan pengelasan semula ini adalah 213.8 peratus. Jumlah peningkatan adalah RM5.935 bilion. Sekiranya tidak melakukan creative accounting sebegini, akaun semasa pada tahun 2021 telah mencecah defisit sebanyak RM5 bilion.
Ini menunjukkan betapa mencabarnya situasi fiskal negara kita. Malangnya pihak sebelah sana masih membuat tuntutan hanya untuk memancing undi. Padahal mereka telah bergantung pada creative accounting untuk memberikan gambaran yang lebih baik semasa pentadbiran mereka. Ini adalah satu penipuan, penipuan besar Tuan Yang di- Pertua. Justeru, saya berharap Kerajaan Perpaduan sekarang jujur dengan Ahli-ahli Yang Berhormat di sini. Jangan melakukan creative accounting untuk memberi gambaran yang tidak tepat berkenaan fiskal negara kita.
Tuan Yang di-Pertua, isu yang keempat. Membangunkan Kluang sebagai hab teknologi pertanian. Projek pertanian moden telah dijalankan semenjak tahun 2005 di negeri Johor berhampiran dengan kawasan saya. Namun, teknologi pertanian berkembang secara pesat. Teknologi sekarang jauh lebih canggih daripada dua dekad yang lalu. Dalam Belanjawan 2023, Kerajaan Perpaduan telah memperuntukkan sejumlah RM100 juta untuk sektor sekuriti makanan. Ini adalah satu inisiatif yang betul memandangkan keterjaminan makanan adalah isu yang amat penting sekarang.
Pada masa yang sama, saya minta kerajaan turut ambil berat tentang perkembangan teknologi pertanian supaya kita boleh meningkatkan produktiviti makanan kita supaya objektif keterjaminan makanan akan tercapai. Justeru saya mencadangkan, pembangunan sebuah hab teknologi pertanian di Kluang. Kluang adalah daerah pertanian. Bandar Kluang adalah bandar sekunder yang mempunyai faktor semula jadi yang baik. Justeru jurutera boleh terus test run idea baharu mereka dalam kebun atau ladang persekitaran.
Kita perlu menggalakkan pembangunan teknologi pertanian domestik bukan sekadar import idea pakar atau teknologi jentera dari luar negara. Kita mempunyai bakat, kita ada sumber manusia, kita mampu melakukan satu lonjakan sekiranya Kerajaan Perpaduan ini mempunyai iltizam politik yang mencukupi. We can make agriculture sexy again dengan izin.
Tuan Yang di-Pertua, saya baru balik dari kawasan saya pagi ini kerana banyak daerah di negeri Johor dilanda banjir. Baru sahaja kawasan Kluang dilanda banjir pada hujung bulan Januari, 34 hari nanti dilanda banjir sekali lagi. Apa maknanya, Tuan Yang di-Pertua? Climate change is real, dengan izin. Kita perlu ambil tindakan drastik.
Laksanakan dasar yang betul-betul boleh melindungi nyawa dan harta rakyat kita.
Jangan tunggu sampai sebahagian besar tanah air kita tenggelam baru kita sedar. Namun begitu, kita perlu faham juga ada faktor-faktor lain yang kita mampu memperbaiki untuk elakkan banjir skala besar sebegini. Misalnya, ada kawan tanya kepada saya semalam.
Kenapa Kluang juga dilanda banjir ya, bukan Kluang terletak di kawasan hulu sungai?
Itulah saya sendiri pun tak faham kenapa setiap kali hujan lebat, Kluang yang terletak asal usul sungai dilanda terlebih dahulu. Kita mungkin tidak mampu membesarkan sungai kerana pembangunan bandar berlaku sebelah tebing sungai, rumah kampung juga dibina depan sungai.
Puan Wong Shu Qi - Kluang
Justeru, boleh atau tak kita mendalamkan sungai sedia ada supaya kapasiti hulu sungai ini ditingkatkan? Setiap kali saya bincangkan perkara ini dengan pegawai JPS daerah, masalah timbul iaitu wang tak cukup. Saya minta tolong Menteri, sila beri JPS Kluang bajet yang mencukupi untuk melaksanakan projek semua ini yang penting.
Satu isu yang penting berkenaan dengan banjir kali ini adalah apakah prosedur pelepasan air ke empangan? Jabatan Meteorologi telah mengeluarkan ramalan cuaca buruk dua atau tiga hari terlebih dahulu. Adakah pihak yang berkenaan ambil maklum semua ini dan melepaskan air empangan terlebih dahulu ataupun hanya mengambil langkah pelepasan air empangan semasa hujan lebat, air pasang untuk mengelakkan empangan pecah? Boleh atau tak kita ambil langkah yang lebih proaktif dan bukan reactionary untuk berdepan dengan bencana alam yang semakin serius? Kita kena ingat peranan kerajaan yang paling penting untuk melindungi nyawa dan juga harta rakyat kita.
Tuan Yang di-Pertua, satu lagi isu penting yang saya nak bangkitkan dalam Dewan yang mulia ini ialah berkenaan kehilangan habitat haiwan liar di negara kita.
Semenjak tahun lepas, kawasan saya, Bandar Kluang telah menjadi sebuah ‘night safari’.
Saya pernah bangkitkan isu yang sama pada penggal yang lepas juga. Dulu, gajah-gajah hanya cuba mencari makanan di sekeliling ladang sawit dalam kawasan Sembrong, Mersing.
Selepas hutan simpan kekal di kawasan Jemaluang diubah kepada ladang sawit, kumpulan gajah ini tak ada tempat lagi untuk berkumpul dan mencari makanan. Maka, gajah di Johor terpaksa duduk dalam ladang sawit, musnahkan kebun-kebun sekeliling kerana habitat dan sumber makanan semula jadi mereka sudah tiada lagi. Petani kecil terjejas, gajah hilang habitat kerana manusia menceroboh habitat mereka.
Setiap bulan, kalau bukan setiap minggu, saya akan terima aduan daripada penduduk setempat berkenaan aktiviti gajah di sekitar rumah mereka. Dulu, gajah hanya masuk ke kampung yang terletak di pinggir hutan.
Sekarang, gajah masuk kawasan perumahan yang hanya lima minit dari pusat bandar. Saya mencadangkan supaya kita membina ecolink untuk menyambungkan hutan simpan-hutan simpan kekal di Johor. Jadi, gajah-gajah boleh bergerak ke hutan simpan kekal yang telah dipecah-pecahkan oleh lebuh raya atau ladang sawit tanpa memberi kesan negatif kepada petani atau penduduk setempat.
Tuan Yang di-Pertua, saya akan gulung. Justeru dengan ini, saya menjemput Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim untuk turun padang melawat ‘night safari’ yang percuma di Kluang supaya Menteri boleh faham masalah yang dihadapi oleh penduduk setempat. Ahli-ahli Yang Berhormat yang berminat untuk memantau aktiviti gajah di kawasan perumahan manusia, juga boleh turut serta. Semua dijemput, tanpa caj, free night safari tour di Bandar Kluang. Sekian, terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Terima kasih Yang Berhormat Kluang. Dipersilakan Yang Berhormat Putrajaya.
Datuk Dr. Mohd Radzi bin Md. Jidin - Putrajaya
Terima kasih Tuan Yang di- Pertua. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Di sepanjang tempoh pemerintahan kerajaan campuran PH-BN, rakyat Malaysia tertunggu- tunggu apakah kerangka hala tuju ekonomi negara di bawah kerajaan ini. Hala tuju yang jelas amat penting dalam keadaan negara sedang berada pada fasa pemulihan daripada pandemik COVID-19.
Sebelum ini, Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) dijadikan asas perancangan pembangunan negara oleh Perdana Menteri Ketujuh (PMVII), Ke-8 dan Ke- 9. WKB 2030 memfokuskan kepada keberhasilan, mempunyai sasaran yang jelas serta menekankan kepada pemantauan pelaksanaan. Namun sayangnya, WKB 2030 tidak lagi dijadikan asas bagi dasar perancangan negara oleh Perdana Menteri Kesepuluh (PMX) walaupun RMKe-12 telah dijajarkan sepenuhnya dengan wawasan ini.
Datuk Dr. Mohd Radzi bin Md. Jidin - Putrajaya
Maka, terdapat kelompangan kepada asas perancangan pembangunan Malaysia apabila tidak kelihatan sebarang kerangka jelas yang dikemukakan oleh Kerajaan PH-BN bagi menggantikan WKB 2030. Dalam konteks ini, saya mencadangkan supaya kerajaan terlebih dahulu menyediakan kerangka asas yang kukuh sebelum sesuatu perancangan jangka panjang terdahulu dihapuskan. Ini bagi memastikan adanya kesinambungan yang jelas tentang perancangan yang telah, sedang dan akan dilaksanakan.
Tuan Yang di-Pertua, sebab itu harapan rakyat termasuklah ahli ekonomi, penganalisis pasaran mahupun ahli akademik adalah untuk melihat hala tuju jelas dan cadangan structural changes, dengan izin, kepada ekonomi negara dalam pembentangan Bajet 2023. Apatah lagi belanjawan kali ini dibentangkan oleh seorang yang sentiasa melabelkan dirinya sebagai seorang reformist. Sayangnya, “indah khabar daripada rupa”.
Tidak ada wow factor ataupun game changer dalam Belanjawan 2023. Janji dan formula yang sering dilontarkan sebelum ini juga tidak nampak bayangnya.
Tuan Yang di-Pertua, Rancangan Malaysia Kedua Belas yang begitu komprehensif dan mengambil tempoh panjang untuk disiapkan oleh Unit Perancang Ekonomi tidak sekali pun disebut dalam ucapan Belanjawan 2023. Jadi, apakah sebenarnya kerangka asas pembangunan negara yang dijadikan panduan? Apa yang disebut adalah madani, sedangkan tidak ada sasaran keberhasilan dalam konteks ekonomi apabila kerajaan bercakap tentang konsep madani.
Saya melihat kerajaan hari ini ibarat kerajaan ‘IT’ ataupun kerajaan ‘ikut terlintas’.
Buat sesuatu tanpa panduan dan kerangka yang jelas. Pendekatan kerajaan ini memberikan isyarat yang mengelirukan, bukan sahaja kepada rakyat, bukan sahaja kepada penjawat awam tetapi juga kepada pelabur dan pemain pasaran modal.
Tuan Yang di-Pertua, dalam belanjawan disebut bahawa sasaran kerajaan adalah untuk mencapai pengurangan defisit fiskal kepada 3.2 peratus daripada KDNK pada tahun 2025.
Tuan Prabakaran a/l M Parameswaran - Batu
Mohon mencelah, Yang Berhormat Putrajaya. Mohon mencelah.
Datuk Dr. Mohd Radzi bin Md. Jidin - Putrajaya
Tak apa. Saya habiskan dahulu.
Tuan Prabakaran a/l M Parameswaran - Batu
Berkaitan dengan game changer itu.
Datuk Dr. Mohd Radzi bin Md. Jidin - Putrajaya
Tak apa. Saya tak beri laluan ya.
Tuan Prabakaran a/l M Parameswaran - Batu
Boleh perjelaskan apa game changer yang bagi...?
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Yang Berhormat.
Yang Berhormat Batu, ini floor Yang Berhormat Putrajaya.
Datuk Dr. Mohd Radzi bin Md. Jidin - Putrajaya
Umumnya, terdapat tiga pendekatan yang boleh digunakan untuk mencapai sasaran tersebut iaitu pertama, meningkatkan pertumbuhan KDNK dengan menjadikan ekonomi negara lebih vibrant, dengan izin. Kedua, meningkatkan kutipan hasil, dan ketiga, mengurangkan perbelanjaan.
Dalam konteks pertumbuhan KDNK, tidak dijelaskan dalam ucapan belanjawan apakah pendekatan sebenarnya kerajaan bagi menjadikan ekonomi Malaysia lebih vibrant dan berdaya maju. Saya minta penjelasan, apakah pemangkin baharu ekonomi negara yang akan diberikan tumpuan oleh kerajaan? Jika dalam WKB 2030, ada diperincikan key economic growth activities (KEGA) sebagai panduan. Jadi, gambaran besar hala tuju pertumbuhan ekonomi negara di bawah kerajaan ini adalah amat kabur.
Berkaitan hasil, berdasarkan pembentangan Belanjawan 2023, asas hasil negara masih sama dengan tahun-tahun sebelum ini. Sebagai contoh, kebergantungan kepada hasil daripada cukai pendapatan petroleum (PTA) dan dividen PETRONAS masih tinggi.
Jadi, apakah sebenarnya strategi kerajaan untuk meningkatkan hasil negara?
Datuk Dr. Mohd Radzi bin Md. Jidin - Putrajaya
Dalam konteks perbelanjaan kerajaan, hampir 60 peratus perbelanjaan mengurus telah dilocked in, dengan izin. Ini termasuk pembayaran emolumen, pencen dan pembayaran faedah ke atas hutang. Walau apa juga keadaan, perbelanjaan ini perlu diperuntukkan.
Selain itu, ada juga komponen yang sebelum ini diletakkan sebagai perbelanjaan mengurus telah dikategorikan semula sebagai perbelanjaan pembangunan. Apabila perbelanjaan mengurus dipindahkan kepada perbelanjaan pembangunan, jumlah perbelanjaan pembangunan yang boleh digunakan untuk projek infrastruktur baharu akan menjadi amat terhad.
Mohon kerajaan menyatakan berapakah jumlah perbelanjaan yang telah dikategorikan semula daripada perbelanjaan mengurus kepada perbelanjaan pembangunan. Bilakah kerajaan boleh mencapai keadaan di mana tiada lagi perbelanjaan mengurus dikategorikan semula sebagai perbelanjaan pembangunan?
Dalam ucapan Yang Berhormat Kluang, Yang Berhormat Kluang menceritakan seolah-olah reklasifikasi ini hanya berlaku pada hari ini.
Untuk makluman Yang Berhormat Kluang, perkara ini telah lama berlaku sejak pemerintahan Kerajaan Barisan Nasional hinggalah pada hari ini...
[Tepuk]
Datuk Dr. Mohd Radzi bin Md. Jidin - Putrajaya
Ini bukan soal politik ya, ini bukan soal politik. Soal kita untuk kita bersama-sama pastikan reklasifikasi ini dapat diminimumkan bagi memastikan DE asas projek, perbelanjaan untuk pembangunan asas itu tidak terjejas maka kita boleh lihat banyak projek baharu dapat dilaksanakan.
Puan Wong Shu Qi - Kluang
Boleh minta laluan?
Datuk Dr. Mohd Radzi bin Md. Jidin - Putrajaya
Tidak apa, terima kasih.
Puan Wong Shu Qi - Kluang
Tidak, saya hendak minta pandangan sahaja.
Datuk Dr. Mohd Radzi bin Md. Jidin - Putrajaya
Komponen utama lain perbelanjaan mengurus adalah subsidi, namun pengurangan subsidi atau bantuan rakyat secara tidak cermat akan memberi kesan besar kepada rakyat termasuklah kenaikan harga barang dan perkhidmatan.
Jika kita lihat jumlah yang diperuntukkan untuk subsidi dan bantuan rakyat bagi tahun 2023 adalah RM64 bilion berbanding sekitar RM80 bilion pada tahun 2022. Ini satu pengurangan yang amat signifikan. Minta kerajaan jelaskan komponen subsidi atau bantuan rakyat manakah yang akan dipotong pada tahun 2023 ini. Jadi jika kita lihat secara keseluruhan, adalah tidak jelas bagaimana kerajaan akan dapat mencapai sasaran defisit 3.2 peratus pada tahun 2025.
Tuan Yang di-Pertua, umumnya pada masa ini Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan disediakan berdasarkan asas perakaunan tunai ubahsuai. Maknanya sesuatu urus niaga direkodkan apabila tunai diterima dan dibayar dalam tempoh perakaunan. Cadangan pelaksanaan perakaunan akruan telah lama dibincangkan.
Pendekatan perakaunan akruan penting dalam memastikan pengurusan fiskal yang berhemat serta meningkatkan kecekapan pengurusan kewangan dan perakaunan kerajaan. Soalan saya, bilakah pendekatan perakaunan akruan sepenuhnya akan mula digunakan oleh kerajaan?
Tuan Yang di-Pertua, seterusnya saya ingin menyentuh tentang bantuan untuk rakyat. Sewaktu Yang Berhormat Pagoh menjadi Perdana Menteri, pelbagai usaha telah dibuat bagi membantu rakyat, khususnya mereka dalam kumpulan miskin dan miskin tegar. Bagi memastikan bantuan kerajaan sampai kepada kumpulan rakyat yang memerlukan, usaha telah dimulakan ketika itu untuk mewujudkan pangkalan data tunggal yang komprehensif dan boleh dikemas kini secara real-time dengan izin, oleh kementerian dan agensi berkaitan. Pendekatan tersebut merupakan asas kepada pembentukan satu sistem jaringan keselamatan sosial yang holistik, sistematik dan teratur.
Datuk Dr. Mohd Radzi bin Md. Jidin - Putrajaya
Langkah seterusnya adalah untuk mewujudkan sebuah agensi tunggal yang akan berfungsi sebagai pusat sehenti bagi menyelaras bantuan kepada rakyat yang memerlukan. Model Centrelink di Australia boleh dirujuk. Dalam konteks ini, kementerian dan agensi boleh merangka program dan inisiatif bantuan rakyat tetapi agensi tunggal akan membuat penilaian untuk melihat siapakah yang layak menerima bantuan dan berapakah nilai bantuan yang layak mereka terima. Penilaian dibuat...
[Disampuk]
Datuk Che Mohamad Zulkifly bin Jusoh - Besut
Yang Berhormat Putrajaya...
Datuk Dr. Mohd Radzi bin Md. Jidin - Putrajaya
Berpandukan maklumat dalam...
Datuk Che Mohamad Zulkifly bin Jusoh - Besut
Yang Berhormat Putrajaya...
Datuk Dr. Mohd Radzi bin Md. Jidin - Putrajaya
Pangkalan data, bagi memastikan...
Datuk Che Mohamad Zulkifly bin Jusoh - Besut
Belakang, belakang, belakang.
Datuk Dr. Mohd Radzi bin Md. Jidin - Putrajaya
Tiada pertindihan bantuan dan tidak ada seorang pun yang layak tertinggal daripada menerima bantuan. Saya hendak teruskan, ya.
Datuk Che Mohamad Zulkifly bin Jusoh - Besut
Besut, besut.
Datuk Dr. Mohd Radzi bin Md. Jidin - Putrajaya
Banyak lagi. Yang Berhormat Besut? Okey.
Datuk Che Mohamad Zulkifly bin Jusoh - Besut
Sedikit sahaja, sedikit sahaja.
Datuk Dr. Mohd Radzi bin Md. Jidin - Putrajaya
Cepat Yang Berhormat Besut.
Datuk Che Mohamad Zulkifly bin Jusoh - Besut
Apabila Yang Berhormat Putrajaya menyebut tentang bantuan kepada rakyat, kita lihat ada satu yang disebut tentang menoktahi kemiskinan tegar. Saya ingin bertanya kepada Yang Berhormat Putrajaya maksud kemiskinan tegar ini seramai 130 ribu orang. Ada atau tidak datanya yang ke arah itu? Datanya lebih kurang, maknanya kemiskinan tegar ini...
[Disampuk]
Datuk Dr. Mohd Radzi bin Md. Jidin - Putrajaya
Okey, terima kasih Yang Berhormat Besut. Data ini itulah saya sebut tadi bahawa kita pada waktu itu berusaha untuk menyiapkan satu pangkalan data yang menyeluruh dan komprehensif dan pada waktu itu juga, data kemiskinan tegar ini telah dibuat pemutihan oleh menteri sebelum ini Yang Berhormat Dato' Sri Mustapa bin Mohamed untuk memastikan setiap penerima itu mesti memang mereka yang layak dan sekiranya ada yang layak tidak dimasukkan, mereka ini akan dimasukkan. Maka perkara itu telah mula dilaksanakan namun kita mahu memperluaskan kepada seluruh rakyat yang memerlukan bantuan...
Tuan Haji Azli bin Yusof - Shah Alam
Yang Berhormat Putrajaya...
Datuk Dr. Mohd Radzi bin Md. Jidin - Putrajaya
Bagi membolehkan ia bantuan rakyat ini disalurkan...
Tuan Haji Azli bin Yusof - Shah Alam
Shah Alam mohon.
Datuk Dr. Mohd Radzi bin Md. Jidin - Putrajaya
Dengan lebih baik. Saya hendak teruskan, Yang Berhormat Shah Alam.
Tuan Haji Azli bin Yusof - Shah Alam
Bagi peluang kepada kerajaan, MP kerajaan.
Datuk Dr. Mohd Radzi bin Md. Jidin - Putrajaya
Pewujudan agensi tunggal ini sebenarnya tidak memerlukan perjawatan baharu sebaliknya...
Tuan Haji Azli bin Yusof - Shah Alam
Pembangkang sahaja bagi.
Dr. Mohammed Taufiq bin Johari - Sungai Petani
Sungai Petani sedikit.
Datuk Dr. Mohd Radzi bin Md. Jidin - Putrajaya
Saya hendak habiskan.
Dr. Mohammed Taufiq bin Johari - Sungai Petani
Sedikit sahaja. Sedikit sahaja tentang...
Datuk Dr. Mohd Radzi bin Md. Jidin - Putrajaya
Pewujudan agensi tunggal ini sebenarnya tidak memerlukan perjawatan baharu sebaliknya penjajaran anggota perkhidmatan awam yang terlibat dalam pelbagai program bantuan rakyat boleh dibuat.
Oleh itu saya mencadangkan agar kerajaan menyegerakan penubuhan sebuah agensi tunggal ini. Cadangan pelaksanaan subsidi bersasar yang disebut kerajaan, jika dibuat tanpa pewujudan satu jaringan keselamatan sosial yang ampuh akan menyebabkan ramai rakyat yang memerlukan tidak akan termasuk dalam kumpulan sasar khususnya mereka yang ketika ini ditakrifkan sebagai kumpulan M40.
Tuan Yang di-Pertua, dalam pembentangan Belanjawan 2023, perkara berkaitan kebajikan peneroka FELDA langsung tidak disentuh. Ini berbeza dengan pelbagai usaha yang dibuat oleh Yang Berhormat Pagoh untuk membantu peneroka ketika menjadi Perdana Menteri termasuklah menghapuskan hutang peneroka. Saya ingin menyentuh tentang pegangan saham FELDA dalam sebuah syarikat perladangan Indonesia, Eagle High Plantations.
Pada tahun 2015, FELDA ketika itu tidak mempunyai sumber kewangan yang mencukupi, telah diberi pinjaman oleh kerajaan melalui GovCo sebanyak RM2.3 bilion untuk membeli 37 peratus saham syarikat Eagle High Plantation daripada PT Rajawali Capital International (RCI) dan PT Rajawali Corpora (RC). Harga saham EHP sewaktu dibeli oleh syarikat milik penuh FELDA, FICP pada bulan Oktober 2016 adalah...
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Yang Berhormat, sila gulung.
Datuk Dr. Mohd Radzi bin Md. Jidin - Putrajaya
Rupiah Indonesia 565 sesaham. Pada 21 Februari 2023, harganya cuma tinggal Rupiah Indonesia 66 sahaja.
Secara keseluruhan. Nilai pelaburan RM2.3 bilion itu cuma tinggal 10 peratus sahaja.
Melabur RM2.3 bilion pada tahun 2016 dan hari ini nilainya...
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Yang Berhormat.
Datuk Dr. Mohd Radzi bin Md. Jidin - Putrajaya
Cuma RM220 juta sahaja.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Ramli bin Dato’ Mohd Nor
30 saat lagi.
Gulung.
Datuk Dr. Mohd Radzi bin Md. Jidin - Putrajaya
Tuan Yang di-Pertua, mohon sedikit sahaja lagi untuk saya habiskan topik ini dan saya gulung.
Ketika isu pembelian ditimbulkan, Perdana Menteri keenam, Datuk Seri Najib pada 9 April 2019 menyatakan bahawa pembelian saham ini disertakan dengan put option yang mana menurut beliau put option ini kalau kita tidak mahu teruskan pelaburan itu, kita boleh tuntut balik semula wang kita yang kita bayar bersama dengan faedah enam peratus setahun. Ini disebut oleh bekas Perdana Menteri. Mengikut perjanjian FELDA melalui FICP, boleh atas budi bicara mutlak...
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Yang Berhormat...
Datuk Dr. Mohd Radzi bin Md. Jidin - Putrajaya
Melaksanakan put option pada tarikh akhir tempoh put option iaitu 11 Mei 2022.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Ramli bin Dato’ Mohd Nor
30 saat lagi saya akan potong.
Datuk Dr. Mohd Radzi bin Md. Jidin - Putrajaya
Sedikit lagi Tuan Yang di- Pertua. Maknanya kalau 11 Mei 2022, FELDA kata kami hendak jual balik semua 37 peratus saham RCI dan RC wajib membayarnya semula. Namun, apabila FELDA melaksanakannya, pihak RCI dan RC telah menolak permohonan FELDA tersebut dan FELDA terpaksa membawa kes ini ke arbitrasi di Singapura. Soalan saya, berapakah baki hutang untuk pembelian saham EHP yang masih belum dibayar FELDA... [Pembesar suara dimatikan]
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Yang Berhormat, duduk. Duduk Yang Berhormat. Saya sudah bagi dua minit. Terima kasih. Berikutannya, kita persilakan Yang Berhormat Wangsa Maju.
Tuan Ts. Zahir bin Hasan - Wangsa Maju
Bismillahi Rahmani Rahim.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, kerana memberi saya peluang untuk terlibat dalam perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2023. Tuan Yang di-Pertua...
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Sebentar Yang Berhormat. Saya bagi masa. Sebagai petua, kalau hendak masa banyak jangan bagi orang mencelah. Itu sahaja. Kalau bagi mencelah, masa Yang Berhormat akan diambil, ya? Silakan, teruskan.
Tuan Ts. Zahir bin Hasan - Wangsa Maju
Tuan Yang di-Pertua, seperti yang telah dimukadimahkan oleh Yang Amat Berhormat Tambun, ada dua sifat utama yang menjadi prasyarat kepada kejayaan pengurusan belanjawan.
Pertama, amanah; kejujuran; ketelusan dalam menabung dan berbelanja. Kedua, kepantasan berdasarkan kefahaman; berkemampuan bertindak pantas; bijak dan berhemat. Apabila prasyarat-prasyarat ini terlaksana, insya-Allah, keberkatan menyusul bagi menjamin kejayaannya.
Tuan Ts. Zahir bin Hasan - Wangsa Maju
Tuan Yang di-Pertua, apabila kita membincangkan isu keberkatan, marilah kita mengambil pengajaran daripada kisah Khalifah Umar Abdul Aziz yang memerintah hanya dua tahun enam bulan dari tahun 1717 hingga tahun 1720 Masihi. Pada zaman itu, tiada Internet, tiada telefon bimbit, tiada komputer dengan pemerintahan seluas dari Mekah, Madinah ke Syria dan utara Afrika. Pada ketika itu, agihan kekayaan negara begitu merata dan adil, sehinggakan selepas memungut zakat dan berniat untuk memberikannya kepada orang fakir, tidak ada seorang pun fakir miskin yang dapat ditemui. Mengambil kisah ini sebagai benchmark bagi kita, sasaran sifar kemiskinan tegar insya-Allah boleh tercapai dan bukannya mustahil.
Tuan Sabri bin Azit - Jerai
Jerai, Jerai. Minta laluan.
Tuan Ts. Zahir bin Hasan - Wangsa Maju
Saya ada 12 minit sahaja. Terima kasih, kita boleh jumpa di luar Dewan nanti. Bagi yang masih musykil hakikat ini, bolehlah menelaah lanjut kisah sejarah Khalifah Umar Abdul Aziz.
Tuan Yang di-Pertua, Kerajaan Perpaduan mewarisi hutang negara menjangkau RM1.2 trilion atau lebih 60 peratus KDNK. Berapa banyak RM1.2 trilion ini? Bagi tujuan untuk memberikan sedikit gambaran berapa banyaknya jumlah tersebut, marilah kita ambil RM1.2 trilion ini dan dibahagikan dengan jumlah penduduk warganegara kita sejumlah 30.2 juta orang rakyat Malaysia. Ini bererti setiap orang daripada kita, termasuk seorang bayi yang hanya baru dilahirkan di hospital, setiap orang berhutang berjumlah RM49,668.
Begitulah ia keadaan yang kita sedang warisi dan hadapi kini.
Tuan Yang di-Pertua, dalam bajet yang dibentangkan, amalan hijau dalam perniagaan diberi galakan dengan RM2 bilion bagi mendukung syarikat pemula teknologi dan juga membantu syarikat PKS menerap amalan rendah karbon dan pelaksanaan Skim Pembiayaan Teknologi Hijau. Nilai jaminan dinaikkan kepada RM3 bilion sehingga tahun 2025.
Akan tetapi saya ingin sebut kembali titah diraja yang mengkhususkan Wangsa Maju dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebagai bandar perintis rendah karbon.
Bagi merealisasikan amalan hijau, memerlukan keterlibatan semua pihak, termasuk seluruh kementerian, agensi kerajaan, PBT, NGO serta pihak swasta yang berkaitan untuk turut sama komited ke arah mewujudkan bandar dan komuniti yang mampan, selaras dengan matlamat SDG ke-11 iaitu sustainable cities and communities; bagi mewujudkan bandar yang menempatkan– yang inklusif, selamat, berdaya tahan dan lestari.
Tuan Ts. Zahir bin Hasan - Wangsa Maju
Program dan inisiatif bandar rendah karbon perlu merangkumi elemen kecekapan tenaga, penggunaan tenaga boleh baharu (renewable energy), pengurusan air, penuaian air hujan, pengurusan sisa di tapak pelupusan, penggunaan kenderaan awam, aktiviti berbasikal, berjalan kaki, serta menghijaukan bandar dengan penanaman pokok. Oleh yang demikian, saya ingin memohon kepada pihak kerajaan untuk meneruskan dan menambah amaun geran bagi program-program dan aktiviti-aktiviti yang mampu merealisasikan bandar rendah karbon.
Bandar hijau merujuk kepada bandar yang dirancang dengan prinsip bandar mampan serta subur dengan aktiviti-aktiviti ke arah memelihara alam sekitar dan sumber semula jadi. Sekali gus, mengurangkan kesan buruk kepada alam sekitar. Penggunaan bas elektrik perlu diperluas dan dipertingkatkan ke bandar-bandar utama, khususnya Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Sebagai peneraju bandar hijau, Kuala Lumpur perlu terus memperbaiki dan memelihara kualiti serta memastikan kelestarian aset-aset alam sekitar seperti udara, tanah, biodiversiti, mengurangkan risiko hasil perubahan iklim serta memastikan polisi alam sekitar dapat menyumbang kepada kesejahteraan sosial dan ekonomi penduduk.
Sudah tiba masanya Pelan Tindakan Bandar Hijau (Green City Action Plan-GCAP) Malaysia dipercepat.
Tuan Yang di-Pertua, saya merujuk kepada ikhtiar ketiga dalam ucapan bajet minggu lalu menyentuh isu bencana. Saya menggesa pihak kerajaan untuk mengambil langkah proaktif dan serius dalam menangani isu pengurusan bencana. Kita melihat negara kita melalui pelbagai bentuk musibah bencana saban tahun. Terkini, enam buah negeri sedang mengalami bencana banjir, termasuk beberapa buah kawasan yang tidak pernah banjir sebelum ini dan juga mangsa banjir melebihi 26,000 orang. Takziah diucapkan kepada mangsa banjir yang terlibat.
Saya menyokong projek-projek tebatan banjir yang akan ditender semula sebelum diteruskan dan juga saya menyokong sejumlah RM150 juta yang diperuntukkan kepada NADMA. Walau bagaimanapun, selain banjir kita juga dilanda bencana-bencana lain seperti tanah runtuh, kebakaran, hakisan pantai, gempa bumi dan tsunami. Kita tidak boleh tunggu sehingga kita mengalaminya sendiri. Adakah kita akan bertindak setelah kereta tertimbus atau hanya bumbung rumah kita yang kelihatan?
Kita mesti fokus terhadap sistem amaran awal bencana. Sebagai contoh, saban tahun begitu ramai rakyat yang terkesan, terpaksa menanggung kerugian akibat musibah banjir. Bahkan, negara juga perlu berbelanja tinggi melalui kerja-kerja menyelamat, pemindahan penduduk dan baik pulih selepas bencana. Mengapakah kita tidak melabur supaya sistem amaran awal dapat diperbaiki dan lebih cekap? Dengan izin, invest more in preventive measures rather than reactive measures. Spend some to save more, dengan izin.
Dengan adanya sistem amaran awal dan cekap, rakyat...
Tuan Ahmad Tarmizi bin Sulaiman - Sik
Yang Berhormat Wangsa Maju, Sik mohon sedikit pertanyaan fasal banjir. Boleh kut sedikit? Sedikit, sekejap sahaja. Hendak bantu untuk...
Tuan Ts. Zahir bin Hasan - Wangsa Maju
Sekejap. Bagi saya habis dahulu, kita jumpa di luar Dewan nanti. Insya-Allah.
Tuan Ahmad Tarmizi bin Sulaiman - Sik
Tidak, sebab Yang Berhormat Menteri pun ada di sini. Hendak tanya Yang Berhormat Menteri terus. Boleh? Fasal banjir.
Tuan Ts. Zahir bin Hasan - Wangsa Maju
Jumpa sesi Waktu Pertanyaan- Pertanyaan Menteri, boleh tanya kepada Menteri.
Satu daripada prasyarat bagi memastikan kita lebih bersedia menghadapi bencana ialah ketersediaan– availability of data. Ketersediaan data yang tepat dan lengkap. Jika pangkalan data ini telah ada, mohon dikongsikan. Jika tiada, maka ada keperluan untuk mewujudkan pangkalan data yang lengkap. Dengan ketersediaan data- data ini, keputusan serta tindakan dapat diambil dengan tepat berlandaskan data dan sains.
Tuan Ts. Zahir bin Hasan - Wangsa Maju
Saya juga ingin mencadangkan agar pihak kerajaan dapat mengambil transdisciplinary approach (TDA) dalam setiap keputusan dan pelaksanaan. Pelan Tindakan Pengurusan Bencana secara TDA perlu diwujudkan dengan memasukkan elemen pemerkasaan kerajaan tempatan dan sukarelawan. Penyediaan ICT, sistem komunikasi efektif serta kolaborasi antara agensi-agensi dan institusi pengajian tinggi.
Aspek pengurusan bencana perlu juga diperluaskan kepada masyarakat melalui latihan khusus dan boleh dijadikan sebagai suatu program pengajian di institusi pengajian tinggi.
Tuan Yang di-Pertua, ada satu permintaan khusus daripada warga Wangsa Maju.
Pertama sekali, saya ingin menyentuh mengenai aspek keselamatan dan kesejahteraan rakyat. Untuk makluman Tuan Yang di-Pertua, Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju mempunyai keluasan kawasan pentadbiran 87.3 kilometer persegi. Keluasan ini adalah sangat besar.
Justeru, PDRM perlu ada jumlah pegawai tetap yang mencukupi untuk menampung kerja-kerja kepolisan dengan lebih cekap dan berkesan. Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju yang sedia ada mempunyai 9 bahagian dengan seramai 594 orang perjawatan merangkumi lima orang pegawai kanan, 572 orang pegawai rendah polis, 17 orang pegawai awam.
Akan tetapi, jumlah perjawatan ini tidak mencukupi jika dibandingkan dengan jumlah penduduk. Beberapa orang pegawai penting turut dipinjamkan dari kawasan- kawasan lain. Untuk pengetahuan Tuan Yang di-Pertua, jawatan OCPD IPD Wangsa Maju sekarang ini dipinjamkan dari IPD Bagan Datuk. Nisbah polis kepada masyarakat penduduk mengikut piawaian PBB adalah 1:350 ke 1:400 orang penduduk. Nisbah di Malaysia ketika ini adalah 1:500 dan 1:600 orang.
Tuan Ts. Zahir bin Hasan - Wangsa Maju
Manakala di bawah IPD Wangsa Maju, nisbah polis kepada penduduk adalah 1,158 orang. Walaupun IPD ini dinamakan sebagai IPD Wangsa Maju, tetapi untuk makluman semua, kawasan pentadbiran IPD Wangsa Maju meliputi tiga buah kawasan Parlimen, iaitu Wangsa Maju, Setiawangsa dan Titiwangsa dengan lima buah balai polis.
Terdapat juga 57 buah kedutaan dan lebih 30 buah kediaman kedutaan di bawah pentadbiran IPD Wangsa Maju. IPD ini tiada bangunan sendiri dan kini diisi pula dengan waran perjawatan interim. Isu ini perlu diselesaikan segera agar perjawatan tetap dan pertambahan pegawai polis dapat dilakukan dan dapat dipindahkan ke bangunan yang baru di lokasi yang strategik.
Ada banyak persoalan yang perlu dijawab. Untuk menyelesaikan isu ini, dalam jawapan pertanyaan bukan lisan di Dewan yang mulia ini pada tahun 2020, KDN menyatakan akan menyenaraikan semula projek ini dalam Rolling Plan RMKe-12 setelah isu tanah selesai. Merujuk jawapan tersebut, EPU perlu menjelaskan mengapa status projek ini tidak dalam Rolling Plan Ketiga RMKe-12?
Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) juga sepatutnya sudah mewujudkan waran perjawatan tetap. Manakala Pejabat Belanjawan Negara (NBO) perlu segera mewujudkan peruntukan emolumen. Untuk itu, saya ingin menggesa pihak berwajib seperti EPU, SPP dan NBO untuk mengadakan pertemuan bersama-sama dengan Pesuruhjaya Tanah Persekutuan agar isu ini dapat diselesaikan segera.
Adalah kritikal dan menjadi hak setiap rakyat Malaysia khususnya bagi kawasan Wangsa Maju yang berkepadatan penduduk yang tertinggi di Malaysia untuk mendapatkan akses kepada fasiliti kepolisan yang lebih baik. Dengan ini, Wangsa Maju mohon menyokong. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Terima kasih Yang Berhormat Wangsa Maju. Diteruskan dengan Yang Berhormat Pengkalan Chepa.
Datuk Ahmad Marzuk bin Shaary - Pengkalan Chepa
Bismillahi Rahmani Rahim. Terima kasih kepada Tuan Yang di-Pertua. Saya mulakan ucapan pada kali ini
Datuk Ahmad Marzuk bin Shaary - Pengkalan Chepa
dengan memetik sepotong ayat [Membaca ayat al-Quran] , ‘Kami ceritakan kepada mu wahai Muhammad, seindah-indah kisah dalam kami wahyukan kepada mu Al-Quran ini padahal sebenarnya engkau sebelum datangnya wahyu itu adalah dari orang-orang yang tidak pernah menyedari akan halnya’.
Tuan Yang di-Pertua, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Yang Amat Berhormat Tambun atas kejayaan menyediakan sebuah Belanjawan Tahun 2023. Belanjawan 2023 adalah pengumuman yang ditunggu-tunggu oleh rakyat.
Sejak beberapa bulan lepas, akhirnya rakyat mendengar Bajet 2023. Namun bahasa jargon yang tidak mesra rakyat sedikit sebanyak mewujudkan kesenjangan bahasa antara pemimpin dan rakyat.
Frasa yang digunakan oleh Yang Amat Berhormat Tambun begitu kayangan sehingga sukar untuk dicerakinkan sama ada perbahasan bajet ataupun kuliah sastera yang sedap didengar oleh golongan tertentu.
Sedikit review ringkas, pertama perbahasan dimulakan dengan unjuran pertumbuhan ekonomi yang dijangka positif walaupun berlaku inflasi pada harga komoditi yang disebabkan gangguan rantaian global dalam negara. Kedua, Perdana Menteri mendedahkan ketirisan berjumlah RM3 bilion dan berikrar untuk memerangi rasuah.
Ketiga, angka hutang negara yang tinggi seperti ingin menakut-nakutkan pelabur dan juga rakyat.
Saya rangkumkan bahawa pembukaan bajet kali ini sungguh menakutkan.
Seolah-olah Kerajaan PN satu-satunya yang mewariskan hutang RM1.2 trilion. Mari saya ingatkan kepada kerajaan yang dikatakan Madani ini tentang siaran media bertarikh 30 September 2019.
Setelah Pakatan Harapan mengambil alih tampuk pemerintahan negara pada Mei 2019, semakan semula yang menyeluruh telah dilaksanakan terhadap obligasi kewangan kerajaan dan ia mengesahkan bahawa hutang dan liabiliti kerajaan sehingga tahun 2017 adalah sebanyak RM1.087 trilion. Ini juga bukti bahawa PN sebuah kerajaan yang mewarisi hutang yang ditinggalkan oleh Kerajaan Barisan Nasional dan juga Pakatan Harapan.
Namun, tugas kita di sini bukan mahu menyuburkan dendam politik, sebaliknya sebagai Ahli Parlimen yang dipilih oleh rakyat, kita harus move on dan moving forward untuk melaksanakan isu-isu rakyat.
Tuan Yang di-Pertua, jaminan ekuiti bumiputera pada Belanjawan 2023, Yang Amat Berhormat Tambun telah menyatakan agensi kerajaan seperti Tabung Haji, FELDA dan FELCRA hendaklah kembali mengutamakan fungsi penubuhan mereka. Ini juga termasuk mengkaji semula syarikat subsidiari yang merugikan seperti agen pelancongan, pengawal keselamatan dan juga teknologi maklumat.
Soalan ini sangat memberi satu gambaran yang terlalu subjektif. Kalau dalam fasa pemerintahan Perikatan Nasional, ketika mentadbir negara bagi mengukuhkan kedudukan portfolio Tabung Haji secara khususnya, Kerajaan PN dari semasa ke semasa memastikan melaksanakan kajian ke atas pasaran hartanah tempatan dengan mengambil kira beberapa faktor utama seperti jaminan pulangan pelaburan jangka panjang, kadar permintaan dan penawaran serta penilaian hartanah semasa.
Hasilnya Lembaga Tabung Haji pada zaman Perikatan Nasional mencatatkan pendapatan RM1.47 bilion bagi tempoh separuh pertama 2022 dengan jumlah deposit sebanyak RM88.09 bilion iaitu paras tertinggi semenjak penubuhannya selama 59 tahun yang lalu.
Tabung Haji Plantation juga menunjukkan peningkatan prestasi yang baik pada kewangan tahun 2021 berbanding 2020. Ini dapat dilihat daripada peningkatan pendapatan sebanyak 37 peratus daripada RM555 juta kepada RM761 juta. Keuntungan sebelum cukai, THP juga telah melonjak sebanyak 150 peratus, iaitu daripada RM54 juta kepada RM138 juta. Prestasi kumpulan THP terus cemerlang pada separuh pertama tahun 2022 di mana pendapatannya meningkat 46 peratus berbanding separuh pertama tahun 2021.
Datuk Ahmad Marzuk bin Shaary - Pengkalan Chepa
Ini termasuk keputusan untuk membatalkan penjualan 14 buah anak syarikat Tabung Haji Plantation yang memiliki kawasan ladang sejumlah 76,957 hektar yang mewakili 76.2 peratus daripada jumlah keseluruhan ladang-ladang yang dimiliki oleh Tabung Haji Plantation yang dibuat pada zaman Yang Berhormat Pagoh dan diteruskan pada zaman Yang Berhormat Bera sebagai Yang Amat Berhormat Perdana Menteri.
Kita batalkan usaha-usaha penjualan ini sehinggakan bukan sahaja kita mencatat keuntungan dengan memulihkan (rehab) ladang-ladang itu, bahkan ia menyumbang kepada peningkatan pembayaran pengagihan keuntungan kepada pendeposit yang meningkat berbanding dengan zaman Pakatan Harapan mentadbir.
Jadi dalam isu Tabung Haji, kerajaan tidak sepatutnya mengambil keputusan untuk menjual sewenang-wenangnya aset-aset melainkan melaksanakan kajian dan langkah-langkah strategik. Ini umpama kita jual angsa, manakah lagi kita hendak dapat telurnya?
Kalau Yang Berhormat Pagoh dan diteruskan oleh Yang Berhormat Bera tidak membatalkan penjualan 76,000 hektar ladang yang sudah pun diluluskan perancangannya dan sudah ada diluluskan penjualannya pun dibatalkan oleh Kerajaan Perikatan Nasional pada waktu itu dengan usaha daripada Yang Berhormat Pagoh dan juga Yang Berhormat Bera yang sangat kuat mempertahankan supaya ladang-ladang ini tidak dijual.
Saya bimbang ucapan Perdana Menteri ini sebagai back door untuk melaksanakan agenda tertangguh Kerajaan Pakatan Harapan pada 22 bulan yang tidak sempat dilaksanakan. Jangan ingat lebai-lebai yang berada di Tabung Haji itu hanya boleh buat business haji dan umrah, sebagaimana Yang Berhormat Pandan yang selalu menyindir lebai-lebai. Kami lebai-lebai pun tahu mentadbir. Menjadi lebai mentadbir Kelantan, Tok Guru Nik Aziz, 23 tahun tidak ada berlaku ketirisan walaupun tiada formula- formula yang ajaib dan luar biasa. Kami adalah lebai legislator. Lebai yang takut kepada Allah SWT.
[Bercakap dalam bahasa Arab] Tuan Yang di-Pertua, isu yang saya hendak sebutkan juga di sini ialah Titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Kelantan yang sangat berjasa kepada Yang Amat Berhormat Tambun. Yang Amat Berhormat Tambun kalau tidak kerana diampuni perkenan untuk dibebaskan, maka Yang Amat Berhormat Tambun tidak akan sampai ke sini pada hari ini.
Siapakah yang bertanggungjawab? Sultan Kelantan yang merupakan Yang di-Pertuan Agong pada waktu itu. Sultan inilah bertitah dalam Sidang DUN pada 16 Jun 2013, ‘Beta juga berharap agar penyelesaian isu tuntutan bayaran tunai petroleum dapat diselesaikan mengikut perjanjian yang telah ditandatangani’.
Demikian juga di Istiadat Perasmian Pembukaan DUN Kelantan pada Mac 2012, Baginda Tuanku juga bertitah, ‘Beta berharap gas ini dapat didaratkan di negeri ini kerana Kelantan telah menyediakan Zon Industri Petroleum di Pantai Bachok seluas 4000 ekar semenjak 1990 lagi’.
Semuanya ini berlaku pada zaman Yang Amat Berhormat Tambun dahulu menjadi Menteri Kewangan. Sepatutnya kawasan joint development area dengan izin Tuan Yang di-Pertua, sebuah kawasan perlombongan petroleum di kawasan bertindih dengan Thailand yang jaraknya dengan Pantai Bachok hanya 140 kilometer. Akan tetapi, keputusan kerajaan yang Yang Amat Berhormat Tambun pada 1996 sebagai Menteri Kewangan telah melarikan pendaratan gas ini ke Songkhla, Thailand jaraknya 230 kilometer.
Kalau kata hendak mengangkat martabat Melayu, Melayu mana ada di Songkhla Thailand?
[Tepuk] Kalau kata hendak menghapuskan miskin tegar, menoktahkan miskin tegar maka, sepatutnya minyak itu didaratkan di Pantai Bachok di negeri Kelantan kerana ia boleh memacu industri hiliran. Jajaran jalan, kedai-kedai dan tanah, value nya akan meningkat apabila adanya pendaratan gas dan petroleum di situ. Akan tetapi semuanya ini kerana tangan Yang Amat Berhormat Tambun sebagai Menteri Kewangan pada waktu itu, didaratkan di Thailand. Hasil daripada lima percent daripada GDA ini berjumlah RM3 bilion setahun, satu sen pun tidak diberikan peruntukannya sebagaimana perjanjian yang ada pada 1975.
Datuk Ahmad Marzuk bin Shaary - Pengkalan Chepa
Negara Malaysia kaya dengan hasil bumi termasuklah petroleum. Oleh yang demikian, Kerajaan Malaysia melalui Akta Perlombongan Petroleum 1966 telah menubuhkan PETRONAS sebagai sebuah badan atau syarikat yang akan bertindak menguruskan segala eksplorasi dan eksploitasi petroleum. Sehingga dibuatkan perjanjian. Kalau Kelantan tidak layak dapat lima percent daripada royalti, mengapakah PETRONAS selepas adanya akta ini membuat perjanjian dengan Kerajaan Kelantan?
Baik begitu tidak payah buat perjanjian.
Oleh sebab itu, saya tidak hendak pergi kepada detil ini, kita telah mengulangi tekad. Yang Berhormat Pagoh telah mengulangi tekad pada 20 Oktober yang lalu untuk kita terus membayar lima peratus sebagaimana dalam perjanjian sekiranya berkuasa di peringkat Putrajaya.
Tuan Yang di-Pertua, saya mengingatkan kepada pihak kerajaan supaya jangan banyak berdolak-dalik dalam isu ini. Kalau hendak bagi ada 1,000 jalan, kalau tidak hendak bagi ada 1000 dalih yang boleh diberikan. Kita ingat kepada ayat yang disebut, [Membaca sepotong ayat Al-Quran] ‘Kecelakaan besar bagi orang-orang yang curang dalam timbangan dan sukatan iaitu mereka yang apabila menerima sukatan dari orang lain, mereka mengambilnya dengan cukup’. *Ambil royalti untuk Kerajaan Federal cukup tetapi bukan sahaja kurangkan timbangan untuk Kelantan bahkan, dinafikan dan terus dinafikan saban hari.
[Tepuk]* Saya mengingatkan kepada apa yang disabdakan oleh Nabi Muhammad SAW.
[Membaca sepotong hadis] Mana-mana pemimpin yang menguruskan hak orang Islam, Kelantan sebagai negeri Malay... yang orang Islam nya ramai, bumiputera Melayu nya ramai tiba-tiba dia mati dalam keadaan menipu dan menzalimi mereka itu, Allah haramkan syurga kepada kepadanya.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Yang Berhormat, sila gulung.
Datuk Ahmad Marzuk bin Shaary - Pengkalan Chepa
...Daripada Jabir r.a., kalau kita bercakap tentang Rahmah, Rahmah bukan sahaja...
Dr. Mohammed Taufiq bin Johari - Sungai Petani
Yang Berhormat Pengkalan Chepa, sebelum gulung, sedikit...
Datuk Ahmad Marzuk bin Shaary - Pengkalan Chepa
Saya akan gulung, saya akan gulung.
Dr. Mohammed Taufiq bin Johari - Sungai Petani
Sedikit saya nak tanya, boleh?
Datuk Ahmad Marzuk bin Shaary - Pengkalan Chepa
[Bercakap dalam bahasa Arab] Yakni berlapang dada dan bermurah hati ketika membayar hutang yang menjadi kewajipannya, ia tidak menunda-nunda, tidak mengelak...
Dr. Mohammed Taufiq bin Johari - Sungai Petani
Sedikit minta penjelasan.
Datuk Ahmad Marzuk bin Shaary - Pengkalan Chepa
...dari pelbagai hak yang menjadi kewajipannya...
Dr. Mohammed Taufiq bin Johari - Sungai Petani
...Tentang keputusan yang dibuat oleh Yang Amat Berhormat Tambun.
Datuk Ahmad Marzuk bin Shaary - Pengkalan Chepa
...Tetapi ia membayarnya dengan...
[Tidak jelas] Saya mengingatkan Yang Amat Berhormat Tambun kepada jasa Duli Yang Maha Mulia Sultan Kelantan yang telah mengampunkan dia sehingga dia boleh berada di sini.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Yang Berhormat, 30 saat.
Datuk Ahmad Marzuk bin Shaary - Pengkalan Chepa
...Kalau tidak pengampunan itu...
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Saya akan potong.
Datuk Ahmad Marzuk bin Shaary - Pengkalan Chepa
...Yang Amat Berhormat Tambun tidak akan ada di sini.
Dr. Mohammed Taufiq bin Johari - Sungai Petani
Yang Berhormat Pengkalan Chepa, sedikit penjelasan.
Datuk Ahmad Marzuk bin Shaary - Pengkalan Chepa
Saya hendak gulung Tuan Yang di-Pertua. Akhirnya dengan pantun– *Tuan Nik Mat, Tuan Guru, Kota Masai Masjid Tanah, Jangan khianati Titah Tuanku, Sial sampai ke lubang tanah.
[Tepuk]*
Dr. Mohammed Taufiq bin Johari - Sungai Petani
Sedikit penjelasan Yang Berhormat Pengkalan Chepa sebelum penggulungan.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Masa sudah cukup Yang Berhormat.
Datuk Ahmad Marzuk bin Shaary - Pengkalan Chepa
Ini yang terakhir Tuan Yang di-Pertua. Belanjawan negara ini, dahulu sewaktu PRU 15, PH berkempen akan memperjuangkan isu-isu rakyat. Bajet kali ini Yang Amat Berhormat Tambun sendiri berjanji untuk menoktahkan kemiskinan dengan mempersembahkan kisah Nabi Yusuf A.S sebagai mukadimah. Nabi Yusuf A.S tidak pernah mengajar rakyatnya dan beliau sendiri tidak pernah menganiayai dan menzalimi rakyatnya terutama di bawah pemerintahannya.
*Matahari terbenam Tanjung Aru, Air pasang di Tanjung Bidara, Bentang bajet sudah celaru, Mana mungkin tadbir negara.
Dari Tenggara ke Selat Tebrau, Sejuk embun di subuh hari, Urus negara jadi kacau, Eloklah Tambun mengundur diri.* Sekian, Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Dr. Mohammed Taufiq bin Johari - Sungai Petani
Tidak boleh penjelasan sedikit Tuan Yang di-Pertua? Yang Berhormat Pengkalan Chepa, sedikit sahaja. Sungai Petani tidak boleh?
Datuk Ahmad Marzuk bin Shaary - Pengkalan Chepa
Penjelasan, kita jumpa di luar, saya tidak ada masa.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Terima kasih.
Dr. Mohammed Taufiq bin Johari - Sungai Petani
Tidak boleh ya?
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Yang Berhormat, masa telah cukup. Waktu telah sampai. Persidangan akan disambung semula pada jam 2.30 petang.
[Mesyuarat ditempohkan pada pukul 1.07 tengah hari]
[Mesyuarat disambung semula pada pukul 2.30 petang]
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Ramli bin Dato’ Mohd Nor
[Tuan Yang di-Pertua **mempengerusikan Mesyuarat****]
Tuan Yang di-Pertua
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Kita sambung perbahasan dengan menjemput Yang Berhormat Betong.
Silakan.
Dr. Richard Rapu @ Aman anak Begri - Betong
Terima kasih Tuan Yang di- Pertua. Salam sejahtera dan salam perpaduan. Saya mengucapkan terima kasih kerana diberi peluang untuk mengambil bahagian dalam perbahasan Belanjawan 2023 yang dibentangkan oleh Yang Amat Berhormat Tambun selaku Menteri Kewangan pada 24 Februari yang lalu. Tahniah kepada Yang Amat Berhormat Tambun atas belanjawan yang begitu besar yang bertemakan Membangun Malaysia Madani. Ia tertumpu kepada 12 ikhtiar utama serta berlandaskan tiga tekad.
Tuan Yang di-Pertua, dengan masa yang singkat maka saya akan terus kepada beberapa isu yang saya ingin bawa iaitu mengenai pengusaha mikro, kecil dan sederhana ataupun mengenai pertanian dan juga mengenai infrastruktur dan prasarana di kawasan luar bandar serta isu-isu di kawasan Betong dan Sarawak.
Di bawah ikhtiar yang pertama iaitu kemapanan fiskal. Yang Amat Berhormat Menteri Kewangan telah mengambil pendekatan dasar belanjawan yang mengembang sebagai mendukung pertumbuhan ekonomi supaya limpahnya dapat dinikmati semua rakyat. Dasar belanjawan mengembang penting diteruskan kerana ia perlu untuk mengatasi tekanan inflasi yang tinggi, membantu pembasmian kemiskinan, menaik taraf infrastruktur awam serta menambah nilai prasarana di luar bandar.
Tuan Yang di-Pertua, Betong mengalu-alukan inisiatif bagi mengawal inflasi dan mengurangkan beban sara hidup dengan peruntukan sebanyak RM64 bilion dalam bentuk subsidi bantuan serta insentif manakala RM8 bilion di bawah Program Sumbangan Tunai Rahmah yang akan memberi manfaat kepada 8.7 juta rakyat B40.
Aspek yang penting bagi sesebuah belanjawan ialah pelaksanaan dan sistem penyampaiannya ataupun delivery system dengan izin. Sekiranya Kerajaan Persekutuan dan negeri masih terikat dengan buku ataupun follow the book, terikat kepada peraturan dan kerisauan, penyalahgunaan kuasa serta korupsi untuk melakukan sesuatu yang betul, orang ramai tidak akan memperoleh manfaat dari sebuah belanjawan yang hanya berbunyi besar. Maka, saya sarankan ataupun bolehkah kerajaan menilai dan menyemak semula sistem perolehan sampai ke bawah hingga ke peringkat pejabat daerah dan PBT.
Bagi memastikan tiada sebarang ketirisan berlaku seperti sebelum ini Belanjawan 2023 harus dilaksanakan seiring dengan Pelan Antirasuah Nasional 2019-2023. Kejayaan Belanjawan 2023 bukan hanya tertakluk kepada keadilan dalam menyenaraikan pengagihan dan penerimaan bajet tetapi juga kaedah pengagihan secara telus dan efektif.
Tuan Yang di-Pertua, bagi memenuhi keperluan ekonomi rakyat Betong juga menyambut baik penjimatan cukai tetapi kerajaan sepatutnya melaksanakan langkah- langkah yang lebih pragmatik untuk mengurangkan kos menjalankan perniagaan terutamanya dalam menangani kenaikan kos bahan mentah, tarif elektrik dan kos buruh di mana kebanyakan pengusaha mikro, kecil dan sederhana masih bergelut dengan isu tersebut. Bagi membina sebuah ekonomi yang berdaya saing, Kerajaan Perpaduan mesti juga fokus kepada usaha pemulihan perusahaan mikro, kecil dan sederhana dan mengutamakan dasar dan prasarana yang mesra perniagaan, business-friendly dengan izin.
Belanjawan 2023 adalah pragmatik mengikut peredaran masa. Ia fokus dalam menyokong pendigitalan perniagaan dan proses automasi melalui geran sebanyak RM1 bilion bagi membantu pengusaha mikro, kecil dan sederhana (PMKS) beradaptasi dengan
Dr. Richard Rapu @ Aman anak Begri - Betong
teknologi digital. Betong memuji inisiatif Kerajaan Perpaduan dalam usaha menguatkan peranan Digital Economy Centres (PEDi) bagi membantu peniaga kecil dengan pengetahuan ICT dan ilmu e-dagang. Saya juga minta ia diperluaskan lagi ke seluruh kawasan Parlimen di luar bandar.
Dengan keadaan inflasi dan ketidaktentuan global, ramai usahawan yang masih bertahan semasa pandemik terutamanya perusahaan mikro dan kecil masih berusaha untuk meneruskan perniagaan. Maka, saya menaruh harapan agar Belanjawan 2023 ini dapat dibelanjakan sepenuhnya oleh PMKS ini untuk fokus kepada pemulihan perniagaan mereka dan juga menaik taraf operasi melalui pendigitalan dan automasi.
Betong juga menerima baik pelbagai pendekatan yang diumumkan untuk meneruskan pelbagai pinjaman dan kemudahan pembiayaan untuk usahawan PMKS dengan nilai sebanyak RM40 bilion bagi membantu PMKS perusahaan mikro, wanita, belia dan keluarga yang kurang kemampuan untuk mereka menjana pendapatan melalui perniagaan.
Dalam perkara ini saya minta kerajaan mengurangkan kerenah birokrasi ataupun red tape dengan izin serta memudah cara serta prosedur dalam menyediakan bantuan kewangan kepada perniagaan mikro kecil dan sederhana. PMKS memerlukan bantuan kewangan yang segera untuk membantu mereka meneruskan perniagaan dan pulih daripada kesan pandemik COVID-19.
Daripada pengalaman dan pengamatan kita, permohonan dan kelulusan selalunya melibatkan proses yang panjang dan menyusahkan dan kadang-kadang ia mengelirukan dan rumit sekali. Proses yang mengecewakan sedemikian yang sepatutnya satu bantuan fiskal yang baik tetapi gagal daripada segi pelaksanaannya. Oleh yang demikian, sama ada PMKS dapat manfaat daripada usaha baik kerajaan akan bergantung atas kelancaran dan ketelusan proses permohonan dan kelulusan geran pinjaman ataupun insentif.
Dr. Richard Rapu @ Aman anak Begri - Betong
Maka, Betong mengharapkan kerajaan dan agensi-agensi berkenaan melihat kepada perkara ini dengan menghentikan red tape dan tentukan bantuan kewangan sampai ke PMKS dengan secepat mungkin. Ini kerana PMKS merupakan tulang belakang asas ekonomi negara dan menggaji kira-kira 70 peratus tenaga kerja negara.
Tuan Yang di-Pertua, Betong bimbang lebih-lebih lagi bagi kawasan Parlimen luar bandar, tidak akan mendapat akses kepada bantuan dan inisiatif ini. Oleh yang demikian, soalan saya bolehkah agensi pelaksana turun padang bersama dengan pejabat daerah ataupun pusat khidmat dan membuat roadshow supaya membuka kaunter. Ini dapat memudahkan mereka untuk mohon segala bantuan pinjaman ataupun insentif daripada kerajaan.
Tuan Yang di-Pertua, Betong juga tertarik dengan tekad untuk reformasi institusi dan tata kelola baik bagi memulihkan keyakinan. Saya ingin menyentuh program pertanian. Pertamanya ialah proses rancangan belanjawan untuk program pertanian yang tidak efektif tanpa mengambil kira keperluan di lapangan. Sebagai contoh, peruntukan hanya untuk membekalkan benih tanaman tetapi tidak mengambil kira pengurusan penyakit dan makhluk perosak yang akhirnya menyebabkan pendapatan kebun tidak lumayan.
Objektif sesuatu peruntukan perlu lebih menyeluruh dan harus merangkumi dari ladang sehingga ke pasaran iaitu satu ekosistem ataupun rantaian yang lengkap dan bukan hanya fokus kepada input semata-mata. Betong ingin mencadangkan suatu kaedah yang melibatkan projek berasaskan komuniti, awam dan swasta (private, public and community project).
Pihak swasta boleh mengetuai untuk mendorong dan membantu pihak awam dan komuniti merentasi seluruh rantaian bekalan. Dalam hal ini, bolehkah insentif disediakan berasaskan pengeluaran hasil dan memberikan ganjaran kepada petani yang berdaya maju. Di samping itu, infrastruktur yang lebih baik dapat dirancang. Kolaborasi dengan
Dr. Richard Rapu @ Aman anak Begri - Betong
swasta ataupun anchor company yang lebih baik dapat menentukan penggunaan sumber yang optimum.
Seperkara lagi ialah peruntukan yang kurang untuk penyelidikan & pembangunan
(R&D) serta program pengembangan ataupun extension dalam sebuah komuniti. Ini penting supaya mereka memahami perbezaan daripada segi alam sekitar, makhluk perosak, penyakit, keadaan tanah dan lain-lain.
Tuan Yang di-Pertua, Betong mengucapkan terima kasih atas agihan belanja sebanyak RM5.6 bilion kepada Sarawak walaupun amaunnya tidak mencukupi untuk menyaingi pembangunan di Semenanjung Malaysia tetapi amaunnya telah bertambah tiap-tiap semenjak tahun 2019.
Bagi bekalan air, Sarawak memerlukan sebanyak RM19 bilion untuk menyediakan bekalan air bersih ke seluruh penduduk wilayah Sarawak, oleh sebab saiz kawasan yang luas lebih-lebih lagi muka bumi yang mencabar. Agihan belanja sebanyak RM920 juta di bawah Belanjawan 2023 disediakan untuk menyelenggarakan 380 buah sekolah daif terutamanya di Sabah dan Sarawak, Betong menyambut baik belanjawan tersebut.
Mohon agar isu rumah guru yang daif mesti juga diambil perhatian kerana ramai guru telah berkorban duduk dalam keadaan yang amat memeritkan di mana rumah guru adalah dalam keadaan uzur dan tidak sesuai dan selesa untuk didiami. Betong mengharapkan beberapa buah sekolah daif di Betong akan turut tersenarai untuk dibantu tahun ini.
Tuan Yang di-Pertua, seterusnya Betong ingin mengemukakan isu dan permohonan dari kawasan seperti berikut. Betong minta penjelasan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan mengenai belanjawan untuk pembangunan industri ternakan ruminan iaitu lembu, kambing dan kerbau di Sarawak. Untuk makluman, SSL untuk daging lembu di Sarawak terkini ialah 12 peratus. Sarawak menyasarkan SSL sebanyak 25 peratus menjelang tahun 2030 untuk daging lembu.
Oleh itu, mohon perhatian kerajaan untuk terus membantu dengan belanjawan bagi mempergiatkan lagi usaha pembiakan ruminan di Sarawak. Menyedari keperluan dan permintaan untuk lepasan Ijazah Perubatan Veterinar baik di sektor awam dan swasta yang meningkat di wilayah Sarawak, Betong mencadangkan kepada Kementerian Pendidikan Tinggi untuk menubuhkan Fakulti Perubatan Veterinar dilengkapi dengan hospital veterinar di Kampus UPM, Bintulu. Pada masa sekarang, UPM Bintulu menawarkan program peringkat Diploma Kesihatan Haiwan dan Penternakan.
Seterusnya, Betong mohon diagihkan belanjawan untuk pinjaman rumah panjang di Sarawak seperti yang pernah disediakan oleh pentadbiran terdahulu. Betong juga mohon agihan belanja untuk kerja penyukatan tanah NCR Sarawak.
Seterusnya, di Betong merupakan salah satu buah kawasan yang mempunyai tanaman getah yang luas. Sejak dari dulu hasil ialah berbentuk keping dan getah sekerap.
Betong cadangkan kepada kementerian untuk membina fasiliti untuk memproses susu getah concentrate (latex concentrate) ia boleh dieksport ke Semenanjung ataupun kerajaan boleh menarik pelabur industri hiliran getah di Sarawak.
Tuan Yang di-Pertua, beberapa perkara yang spesifik untuk kawasan Parlimen Betong ialah minta Yang Berhormat Menteri, sedikit masa lagi ya. Tentang status terkini bina baru Klinik Kesihatan Kampung Spaoh yang dibina di tapak yang sudah dikenal pasti.
Mohon jawapan tepat daripada Yang Berhormat Menteri.
Satu lagi ialah masalah yang dihadapi oleh penduduk kawasan Betong ialah hakisan tebingan sungai yang menghantui penduduk apabila ban tebingan sungai pecah dan limpahan air pasang masuk membanjiri kawasan kampung seperti yang berlaku semalam akibat hujan yang lebat. Maka, kampung tradisi yang dibina di tebing sungai yang terdedah kepada masalah ini ialah:
(i) Kampung Medang;
(ii) Kampung Supa;
Dr. Richard Rapu @ Aman anak Begri - Betong
(iii) Kampung Mangut;
(iv) Kampung Serembang;
(v) Kampung Serabang;
(vi) Kampung Tuie;
(vii) Kampung Bungin;
(viii) Kampung Tanjung Assam;
(ix) Kampung Sebemban;
(x) Kampung Belingan;
(xi) Kampung Pasa Betong;
(xii) Kampung Spaoh;
(xiii) Kampung Debak;
(xiv) Kampung Dit; dan
(xv) Kampung Buda.
Pihak JPS telah menganggarkan kos mitigasi sebanyak RM50 juta untuk mengatasi masalah ini untuk jangka masa panjang. Saya merayu kepada kerajaan untuk mempertimbangkan agihan belanjawan untuk projek menangani hakisan tebingan sungai tersebut.
Kedua, Betong mohon agihan belanja untuk membersihkan sungai melalui JPS kerana banyak kebun yang terjejas akibat banjir di mana aliran sungai yang tersumbat dan tidak diselenggarakan. Ketiga, Betong mohon Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan agihkan belanjawan melalui IADA Kalaka/Saribas/Betong untuk program tanaman jagung bijirin untuk pekebun kecil dengan tanaman satu hektar setiap kebun.
Saya menyuarakan ini bagi pihak penternak ayam kacukan yang tidak mampu untuk bergantung pada makanan komersial yang mahal. Hendak menanam...
Tuan Yang di-Pertua
Okey, sila gulung Yang Berhormat Betong.
Dr. Richard Rapu @ Aman anak Begri - Betong
...Jagung sendiri dapat mengurangkan kos makanan ayam. Untuk penutup, Betong juga mohon pertimbangkan peruntukan untuk Jalan Perhubungan Desa, jalan luar bandar, peruntukan MARRIS untuk baik pulih jalan-jalan.
Akhirnya ialah keperluan mempercepatkan pemasangan kemudahan telekomunikasi pada menara yang telah dipasang tetapi belum ada lagi peralatan. Tuan Yang di-Pertua, Betong senada dengan rakan Ahli Parlimen GPS yang telah berucap, rasa kesal dan tidak bersetuju dengan kenyataan Yang Berhormat Stampin dua hari yang lalu mengenai keputusan GPS menyertai Kerajaan Perpaduan.
Betong ingin menegaskan bahawa pendirian kami GPS adalah konsisten iaitu GPS akur dengan nasihat Yang di-Pertuan Agong untuk kita sama-sama dengan parti lain membentuk sebuah Kerajaan Perpaduan yang stabil. Betong mendoakan agar Belanjawan 2023 dapat diurus tadbir supaya niat Kerajaan Perpaduan untuk menikmati kehidupan yang baik dan bermakna akan tercapai. Dengan serangkap pantun...
Dari Stampin hendak ke Betong, Singgah sebentar di Batang Lupar, Nasihan Yang di-Pertuan Agong GPS junjung, Keikhlasan GPS bersama Kerajaan Perpaduan jangan dicabar. Sekian, terima kasih. Betong mohon menyokong. Terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua
Terima kasih Yang Berhormat Betong.
[Tepuk] Yang Berhormat Kuala Kedah. Silakan.
Dr. Ahmad Fakhruddin bin Fakhrurazi - Kuala Kedah
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua kerana memberikan keizinan kepada saya untuk menyampaikan ucapan perbahasan peringkat dasar bagi Belanjawan 2023 pada hari ini. Belanjawan yang diumumkan ini memperuntukkan perbelanjaan kerajaan terbesar dalam sejarah negara iaitu peningkatan RM56 bilion berbanding RM332.1 bilion pada tahun 2022.
Saya senada dengan pandangan Ahli-ahli Yang Berhormat yang lain bahawa belanjawan ini mestilah bersifat rentas kaum mahupun parti. Kerajaan bertanggungjawab terhadap seluruh rakyat di negara ini tanpa ada batasan kepartian, kaum dan sebagainya.
Malah perlu untuk ditegaskan juga bahawa sewajarnya tiada diskriminasi kepada mana- mana pihak terutamanya kepada pihak oposisi kerana kami juga mempunyai rakyat yang perlu dijaga.
Tuan Yang di-Pertua, lima prinsip asas dalam Maqasid Syariah iaitu penjagaan agama, nyawa, akal, keturunan dan harta perlu sentiasa diberikan perhatian termasuklah dalam konteks pembentangan belanjawan negara. Ia perlu dalam kerangka yang strategik agar kebaikan dan manfaatnya dapat dirasai oleh setiap warganegara.
Tadbir urus berteraskan Maqasid Syariah ini akan melestarikan kesejahteraan kehidupan semua warganegara serta menyantuni permasalahan yang timbul melalui tonggak kepimpinan yang berintegriti bagi melahirkan masyarakat yang berakhlak, berilmu dan bersatu padu. Dengan demikian, Kerajaan Madani perlu menelusuri nilai Maqasid Syariah ini dengan memastikan semua rakyat terbela nasibnya di seluruh negeri.
Ini memberi makna hubungan antara negeri dan Persekutuan perlu diperbaiki terutamanya negeri-negeri yang ditadbir oleh pembangkang. Tidak sepatutnya hak projek Kedah Aerotropolis di negeri Kedah dan royalti minyak untuk Kelantan dan Terengganu dinafikan sedangkan ia untuk rakyat. Politik, dendam dan menafikan hak perlu ditinggalkan oleh Kerajaan Madani.
Dr. Ahmad Fakhruddin bin Fakhrurazi - Kuala Kedah
Dengan itu, masa yang terhad, saya akan cuba untuk mengemukakan beberapa pandangan dan soalan yang perlu diambil perhatian dan penelitian oleh pihak kerajaan.
Tuan Yang di-Pertua, saya ingin menyentuh sedikit berkenaan dengan pelaksanaan keselamatan makanan di Malaysia. Salah satu daripada pelan tindakan yang diletakkan kerajaan dalam Dasar Agromakanan Negara 2.0 di bawah subsektor padi dan beras adalah menggalakkan pengurusan guna tanah yang akan memperluas operasi persawahan.
Pelan tindakan yang dinyatakan ini merupakan tunjang utama ke arah mencapai sasaran 75 peratus tahap sara diri padi dan beras negara menjelang tahun 2025 dan 80 peratus menjelang tahun 2030. Jika tiada usaha mengekalkan penggunaan tanah sawah, sudah tentu segala perancangan ke arah menjamin keselamatan makanan tidak dapat direalisasikan. Ia juga bakal menjejas nilai Maqasid Syariah penjagaan nyawa itu sendiri.
Oleh itu, Kedah memohon supaya pampasan padi diberikan secara setimpal dengan kos melepas, opportunity cost, dengan izin.
Jika tanah sawah padi negeri ini ditukar kepada tanah komersial, nilai kutipan cukai tanah yang diperoleh adalah RM1.7 bilion. Permohonan ini mengambil kira 10 peratus daripada kos melepas RM1.7 bilion tadi, iaitu sekitar RM170 juta sahaja.
Tambahan juga, kawasan tadahan hujan Ulu Muda seperti mana tanah sawah padi perlu dilindungi daripada pembalakan dan pembangunan kerana merupakan kawasan punca sungai empangan, yang membekalkan 90 peratus bekalan air di Kedah, 80 peratus kepada Pulau Pinang dan 70 peratus kepada Perlis untuk pengairan sawah padi, sumber air bersih dan sebagainya.
Seramai 4.2 juta orang yang tinggal di Perlis, Kedah dan Pulau Pinang sangat bergantung kepada air mentah dari Ulu Muda. Dengan itu, Kedah memohon agar Kerajaan Persekutuan dapat memberi pampasan yang munasabah, sejumlah RM100 juta bagi memulihara hutan hujan di Ulu Muda sepenuhnya secara kekal. Perkara ini berasas
Dr. Ahmad Fakhruddin bin Fakhrurazi - Kuala Kedah
untuk pengorbanan Kedah bagi mengekalkan kawasan hutan dan menyebabkan kehilangan hasil yang agak tinggi demi negeri Pulau Pinang dan Perlis. Mohon respons kementerian.
Tuan Yang di-Pertua, pendidikan merupakan nadi utama yang menyokong tiang seri pembangunan negara. Kerajaan hari ini mengambil langkah meneruskan tekad kerajaan-kerajaan sebelumnya, dengan Kementerian Pendidikan akan terus menerima peruntukan tertinggi dalam Belanjawan 2023. Saya ingin menyentuh berkenaan sistem pendidikan STEM yang bertunjangkan integrasi empat bidang utama iaitu Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik. Ia merupakan agenda teras yang turut ditekankan dalam pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM 2013- 2025).
Daripada data Pusat STEM Negara menunjukkan bahawa pada tahun 2022, jumlah pelajar bidang STEM adalah pada kadar 47 peratus. Untuk menampung peningkatan jumlah pelajar bidang STEM ini, saya ingin bertanya kepada kementerian.
Adakah terdapat perancangan untuk memperkukuh bidang pengajian STEM di sekolah agama rakyat (SAR) dan sekolah agama negeri?
Pihak kementerian perlu ada kolaborasi dengan agensi seperti JAKIM dan bahagian pendidikan negeri bagi memastikan pelaksanaan bidang pengajian STEM dapat direalisasikan untuk kebaikan murid sekolah agama. Pengimplimentasian pendidikan STEM dalam sistem pendidikan sekolah agama seiring dengan misi falsafah pendidikan negara. Dalam usaha membangunkan insan yang seimbang daripada aspek jasmani, emosi, rohani dan intelektual. Oleh sebab itu, saya melihat selain pendidikan TVET dan tahfiz, pendidikan STEM kepada sekolah agama rakyat dan sekolah agama negeri ini perlu diberikan tumpuan oleh pihak kementerian.
Selain itu, saya ingin bertanya peratus sekolah yang masih bermasalah dari segi prasarana untuk melaksanakan pendidikan STEM ini? Mengintegrasikan kemahiran dan aktiviti secara praktikal adalah cara berkesan meningkatkan minat dan pencapaian murid.
Kekurangan, kekangan yang ada menyebabkan pembelajaran minat selain peningkatan keupayaan potensi pelajar terjejas.
Bagi manusia yang berakal dan cuba memanfaatkan kehidupan, maka sudah tentu ilmu dan pendidikan digunakan dengan cara yg terbaik, serta kemudahan pelajar yang tersedia dan terbentang ini tidak disia-siakan. Tuan Yang di-Pertua, golongan sasar M40 tidak seharusnya dikesampingkan daripada tumpuan kerajaan.
Berdasarkan data dari Bank Negara Malaysia pada tahun 2019, pendapatan bersih golongan ini berada pada paras RM1,127 dan situasi pasca pandemik ini sudah tentu mendorong ramai dalam kalangan mereka yang tergelincir ke bawah paras kemiskinan. Oleh sebab itu, saya berpandangan, intervensi kerajaan perlu konsisten terhadap mereka supaya kita dapat memastikan satu dasar yang soft landing dalam soal bantuan survival golongan ini, khususnya, pada era pascapandemik.
Soalan saya yang pertama, ada disebutkan tentang semakan semula cukai pendapatan individu. Persoalannya, adakah semakan pemotongan cukai pendapatan individu ini akan mengambil kira peningkatan inflasi semasa serta peningkatan semasa OPR? Saya berpandangan semakan terhadap potongan cukai ini juga sangat mustahak bagi menyeimbangkan peningkatan OPR dan pembayaran komitmen bulanan yang ditanggung mereka selama ini melibatkan pendapatan yang boleh guna golongan ini.
Kedua, apa perancangan kementerian terhadap Program Pengekalan Pekerjaan khususnya melibatkan subsidi upah, sistem insurans pekerjaan dan sebagainya kepada golongan M40? Ini juga wajar diteliti supaya golongan ini dapat terus kekal dalam sektor pekerjaan bagi menampung kehidupan seharian.
Ketiga, saya ingin juga tahu strategi kementerian bagi memastikan golongan M40 dapat keluar daripada kelompok insiden kemiskinan tinggi, terutamanya dalam mendepani fasa pengukuhan ekonomi. Adakah ada strategi jangka panjang yang lebih bersasar mengenai perkara ini? Mohon penjelasan kementerian.
Dr. Ahmad Fakhruddin bin Fakhrurazi - Kuala Kedah
Tuan Yang di-Pertua, seterusnya, saya ingin membangkitkan berkenaan perumahan mampu milik. Kementerian Kewangan menjelaskan bahawa terdapat lebih 34,000 buah kediaman tidak terjual, siap dibina bernilai RM21.7 bilion yang dicatatkan dalam separuh masa pertama 2022. Ketidakpadanan pendapatan dengan harga rumah mampu milik yang ditawarkan menyebabkan angka tidak terjual ini melonjak secara signifikan. Bayaran bulanan agak tinggi tambahan dengan kos sara hidup yang kini semakin meningkat menjadi faktor tambahan terhadap polemik yang melanda.
Saya berpandangan ia adalah satu isu lama yang masih membelenggu sektor perumahan negara pada hari ini. Jadi, kemungkinan fokus utama golongan B40 dan M40 ini adalah mengenai kelangsungan hidup berbanding memiliki rumah. Rumah yang asalnya mampu milik telah bertukar menjadi hanya mampu tengok. Berdasarkan tiga strategi yang dirangka dalam RMKe-12, menambah baik akses kepada rumah mampu milik, mempertingkatkan tadbir urus, dan memastikan perumahan inklusif.
Walaupun kerajaan telah memperuntukkan RM2.1 bilion secara langsung untuk menjadikan pemilikan rumah lebih mampu milik, namun pendapatan dan kewangan rakyat khusus B40 dan M40 masih tidak membolehkan mereka membeli rumah. Oleh itu, saya ingin maklum balas pihak kementerian model pembiayaan, i-Biaya yang telah diperkenalkan sebelum ini. Apakah ada syor terkini bagi mengatasi isu perumahan mampu milik, khususnya bagi golongan sasaran?
Tuan Yang di-Pertua, saya mengucapkan takziah kepada semua mangsa banjir yang terkesan akibat banjir beberapa hari kebelakangan ini. Pada 23 Februari 2023 juga, Jabatan Perangkaan Malaysia telah mengeluarkan Laporan Khas Impak Banjir di Malaysia 2022 yang menyatakan nilai kerugian banjir di Malaysia. Kedah menduduki tempat yang keempat dalam mencatatkan RM30.8 juta kerugian akibat bencana banjir.
Kerugian keseluruhan pula dianggarkan sebanyak RM622.4 juta.
Sudah tentu kita tidak mampu untuk mengubah takdir Allah SWT yang menurunkan hujan. Namun, kita masih boleh berusaha untuk memastikan kurang mudarat yang menimpa rakyat. Oleh itu, saya ingin membangkitkan persoalan sejauh manakah komitmen kerajaan terhadap Rancangan Tebatan Banjir (RTB) dalam RMKe-12, dalam usaha meminimumkan kesan bencana banjir, khususnya di negeri Kedah?
Bilakah jangkaan projek ini akan diselesaikan? Dalam soal ini, saya juga ingin menarik perhatian kerajaan mengenai Parlimen Kuala Kedah yang rata-ratanya adalah sawah padi. Di sana, perlu adanya pelan kontingensi yang efektif, jika berlaku air pasang yang mendorong limpahan air masuk ke dalam tanaman sawah. Tanpa penyelesaian terhadap pembinaan tambatan banjir dikhuatiri akan turut memberi kesan besar terhadap keterjaminan makanan padi dan beras negara. Mohon pandangan kementerian.
Dr. Ahmad Fakhruddin bin Fakhrurazi - Kuala Kedah
Tuan Yang di-Pertua, sikit lagi. Saya ingin melanjutkan isu di Kuala Kedah iaitu berkenaan dengan air pasang besar yang berlaku kepada rakyat di pekan Kuala Kedah.
Keadaan air yang naik mencecah 2.95 meter sehingga melimpah ke beberapa buah kawasan pada November tahun lalu amat membimbangkan masyarakat sekitar.
Saya ingin membangkitkan, apakah langkah kerajaan mengurangkan risiko limpahan air pasang besar yang sering melanda Parlimen Kuala Kedah? Seperti sedia maklum, masalah ini tercetus akibat daripada paras air laut yang meningkat sehingga membawa kepada limpahan air dari benteng.
Oleh itu, saya mengharapkan agar perkara ini mendapat perhatian khusus kementerian dan agensi yang bertanggungjawab. Implikasi besar serta kerosakan lain yang ditanggung oleh rakyat di Parlimen Kuala Kedah saban tahun perlu ditangani dengan segera. Semoga persoalan dan cadangan yang dikemukakan ini mendapat perhatian dan jawapan daripada kerajaan demi kebaikan rakyat.
Orang Kedah timbang neraca, Adil saksama ingin balasan; Selesai sudah bajet dibaca, Moga dijawab setiap perbahasan.
Dr. Ahmad Fakhruddin bin Fakhrurazi - Kuala Kedah
Sekian, terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Tuan Yang di-Pertua
Terima kasih Yang Berhormat Kuala Kedah. Sekarang saya jemput Yang Berhormat Bukit Bintang.
Tuan Fong Kui Lun - Bukit Bintang
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua kerana membenarkan saya mengambil bahagian dalam perbahasan Belanjawan Malaysia Madani 2023 yang dibentangkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Kewangan merangkap Perdana Menteri.
Belanjawan defisit lima peratus yang menyaksikan Kerajaan Perpaduan berani membentangkan belanjawan yang memperuntukkan sejumlah RM388.1 bilion tertinggi sejak tahun 2005 berbanding jangkaan hasil pendapatan hasil tahun 2023 hanya berjumlah RM291.5 bilion sahaja.
Apatah lagi belanja mengurus dan tanggungan berjumlah RM289.1 bilion dan belanja pembangunan sekitar RM99 bilion selain berani hutang negara RM1.5 trilion. Saya ucap tahniah kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri atas keberanian dalam mendepani dan menghapuskan ketirisan serta rasuah yang serius di negara ini.
Tuan Yang di-Pertua, walaupun Perdana Menteri memberikan angka 5.10 kepada belanjawan Kerajaan Perpaduan, tetapi saya percaya lapisan rakyat memberi angka yang lebih tinggi walaupun negara berada dalam masa yang sukar. Saya menyokong ajakan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri kepada pemimpin politik termasuk PN dan pembangkang mematuhi kementerian dan penjawat awam selain mengusahakan rakyat untuk mencipta lonjakan untuk menandingi negara-negara tetangga dan serantau.
Tuan Yang di-Pertua, saya mengajak rakyat memulihkan negara daripada rasuah dan menurut Perdana Menteri bahawa amalan rasuah yang menyeleweng di negara ini seperti sudah sistematik. Misalnya, Laporan Ketua Audit Negara tahun 2020 dan 2021 mencatatkan wujud ketirisan hampir RM3 bilion meliputi kehilangan wang awam.
Pembaziran dan pembayaran tidak teratur. Umpamanya ini terkurang kutip duti import kenderaan yang mewah yang menyebabkan kerajaan hilang RM72 juta hanya disebabkan proses kutipan duti import yang lemah.
Saya mencadangkan bahawa kereta import yang mewah ini haruslah diteliti lebih teliti untuk memastikan cukai tidak hilang. Saya mencadangkan bahawa jika pengimport membayar cukai dahulu, kereta sampai port, terus bayar, boleh dikurangkan 10 persen untuk menggalakkan lebih wang dapat daripada hasil oleh kereta import ini.
Selain itu, wujud ketirisan dalam melaksanakan subsidi diesel yang dianggarkan hampir RM10 bilion nilai subsidi yang diselewengkan. Kita sepatutnya malu dengan Singapura yang diletakkan dalam 10 buah negara paling kurang terlibat dengan rasuah.
Begitu juga projek tebatan banjir RM15 bilion yang boleh dijimatkan RM2 bilion jika dibuat secara tender terbuka. Oleh itu, langkah menender semula enam projek tebatan banjir secepat mungkin merupakan langkah terbaik untuk menjimatkan wang negara kita.
Oleh itu, saya menyokong ajakan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri untuk melakukan anjakan pembaharuan supaya urusan kerajaan dan rakyat akan lebih pantas, mudah dan telus. Seharusnya pihak pembangkang terutama PN untuk menyimpan semula perlawanan kerajaan perpaduan yang diilhamkan oleh Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong untuk sama-sama membetulkan perjalanan urus tadbir di negara ini.
Tuan Yang di-Pertua, Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) perlu dilaksanakan sama rata. Belanjawan telah memperkenalkan bahawa kerajaan akan melaksanakan IPR dengan peruntukan RM797 juta bagi manfaat 130,000- rakyat miskin tegar. Saya ingin bertanya, bagaimanakah inisiatif ini dilaksanakan secara adil dan saksama untuk semua golongan rakyat pelbagai kaum? Keutamaan Kerajaan Perpaduan ialah setiap program mesti ditunjangi sama rata kepada semua kaum, dan tiada pilih kasih.
Tuan Fong Kui Lun - Bukit Bintang
Tentang isu lesen peniagaan DBKL. Saya juga menyambut baik persediaan peruntukan RM50 juta untuk membantu 3,000 orang penjaja gerai dan kiosk. Saya tidak pasti, bagaimanakah kedudukan penjaja-penjaja dalam Bandaraya Kuala Lumpur?
Apakah mereka akan diberikan kemudahan tersebut?
Saya harap DBKL dapat mengemas kini dan menaik taraf gerai penjaja-penjaja dan medan selera secara moden. Jangan cepat sangat untuk mengambil tindakan terhadap penjaja-penjaja tanpa lesen di tepi jalan dan bangunan. Proses memulihkan perniagaan mereka hendaklah dilaksanakan, dan zaman para penguat kuasa DBKL bertindak kasar dan keras sudah berlalu.
Bagi lesen-lesen peniaga yang dimohon oleh para pekedai dan penjaja sama ada permohonan baharu, atau pembaharuan perlulah pihak DBKL bertolak ansur dan tidak merumitkan dengan syarat-syarat yang ketat.
Tuan Yang di-Pertua, kesesakan di pejabat imigresen, bilakah akan berakhir?
Pada masa kini, dalam kerajaan sibuk untuk memperbaiki kelemahan urusan di Pejabat Imigresen yang menyebabkan kesesakan berpanjangan dan juga kelewatan memproses permohonan seperti pasport baharu dan memperbaharui serta permohonan visa, orang ramai terpaksa beratur panjang dan membosankan, yang mana kadangkala hilang sabar.
Tuan Fong Kui Lun - Bukit Bintang
Saya mencadangkan bahawa kalau pejabat Imigresen patutlah menambah kakitangan untuk membantu urusan permohonan ini.
Tuan Yang di-Pertua, tentang pembinaan PPR baharu. Saya mendapati warga kota semakin bertambah. Setiap masa dan permohonan untuk menyewa PPR semakin ramai dan dalam senarai menunggu di DBKL semakin panjang dan terpaksa menunggu bertahun-tahun lamanya. Bagi pemohon B40, mereka sengsara, terpaksa lama dan tinggal misalnya menyewa pangsapuri swasta yang sangat mahal dan membebankan atau tinggal berhimpit-himpit dengan ibu bapa. Saya mohon supaya PPR baharu dibina bagi menampung permintaan yang mendesak.
Tuan Yang di-Pertua, Tahun Melawat Malaysia 2025, saya mendapati Belanjawan 2023 memperuntukkan RM250 juta bagi Program Tahun Melawat Malaysia 2025 bagi menarik ketibaan 23.5 juta pelancong asing yang boleh menjana pendapatan negara sebanyak RM76.8 bilion. Peruntukan Tahun Melawat Malaysia 2025 itu tidak mencukupi. Saya mendapati tiada inisiatif untuk memulihkan industri hotel dan pelancongan sebab industri terutama hotel bajet terkesan dengan ancaman penginapan jangka pendek dan atas talian yang tiada undang-undang mengawal selia.
Tuan Yang di-Pertua, saya ingin membawa kes-kes scammer yang sering berlaku di kawasan Bukit Bintang terutama di Kompleks Kota Raya. Ramai mangsa adalah golongan remaja, pelancong, pekerja asing dan warga asing. Semalam saya ada mendapat satu laporan polis kes scammer yang baharu berlaku di Kompleks Kota Raya pada 26 Februari 2023, iaitu tiga hari yang lepas.
Scammer ini adalah kedai telefon bimbit. Mereka mengugut dan menipu mangsa beli insurance screen protector telefon bimbit sebanyak RM1,500 lebih. Ini hanya satu kes sahaja. Masih banyak kes yang berlaku di Wisma Kota Raya ini. Saya harap polis dan juga pihak berkuasa untuk mengambil tindakan atas penipuan yang berlaku di Bukit Bintang ini.
Lagi satu minit boleh?
Tuan Yang di-Pertua
Boleh, boleh satu minit ya.
Tuan Fong Kui Lun - Bukit Bintang
Ya, satu minit. Dengan itu saya mencadangkan naikkan elaun untuk kakitangan kerajaan yang bertugas di Bandaraya Kuala Lumpur ini. Memandangkan kos sara hidup amat tinggi di bandar raya, sepatutnya tuntutan elaun untuk kakitangan kerajaan yang merangkumi polis dan tentera dan juga pegawai-pegawai atau kakitangan kerajaan haruslah memberi elaun lebih yang mereka bertugas di Kuala Lumpur ini. Sekian, terima kasih dan saya menyokong.
Tuan Yang di-Pertua
Baik, terima kasih. Sekarang saya jemput Yang Berhormat Merbok.
Tuan Mohd Nazri bin Abu Hassan - Merbok
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.
Tuan Yang di-Pertua
Waalaikumussalam.
Tuan Mohd Nazri bin Abu Hassan - Merbok
*Bismillahi Rahmani Rahim.
[Membaca sepotong doa]* Izinkan saya memulakan perbahasan saya dengan serangkap pantun.
Mai dari Merbok ke Dewan Rakyat, Dewannya besar bertangga-tangga, Peruntukan Belanjawan 2023 terbelakah rakyat?, Berita gembira yang ditunggu tetapi hampa belaka. Yang Amat Berhormat Tambun Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan telah membentangkan Belanjawan 2023 pada 24 Februari yang lalu. Setelah saya amati pembentangan tersebut tidak banyak perubahan jika dibandingkan dengan Bajet 2022 selain terdapat juga selingan ulangan semula.
Tuan Yang di-Pertua, sejak Dasar Ekonomi Baru (DEB) diperkenalkan terdapat pelbagai inisiatif pembasmian kemiskinan yang telah dilaksanakan di peringkat kementerian mahupun agensi-agensi kerajaan. Meskipun inisiatif-inisiatif ini bertujuan untuk membasmi kemiskinan namun pelaksanaannya yang kurang cekap dan kurang efisien serta pertindihan peranan antara agensi-agensi kerajaan menyumbang kepada pembaziran dana dan objektif inisiatif tersebut menjadi kurang efektif.
Seperti Yang Amat Berhormat Tambun menyatakan dalam Belanjawan 2023 akan menoktahkan kemiskinan dalam kalangan rakyat negara ini melalui inisiatif-inisiatif yang sudah dirancang dan akan dilaksanakan. Selain itu, bagaimanakah pengagihan belanjawan kepada golongan miskin secara bersasar dan tidak menyebabkan golongan yang tidak layak menerimanya? Jika keadaan ini berlaku ia membawa kepada kebocoran dalam mekanisme pengagihan daripada golongan yang layak dan amat memerlukan tetapi sebaliknya melimpah kepada yang maha kaya dan tidak layak menerimanya.
Oleh itu, Menteri Ekonomi harus mengkaji inisiatif-inisiatif pembasmian kemiskinan ini yang mempunyai banyak kekurangan dan ia perlu diperbaiki terutama dari segi pelaksanaannya. Selain itu, strategi inisiatif pembasmian kemiskinan perlu kepada inisiatif baharu yang lebih menarik dan lebih efektif daripada sebelumnya.
Apa yang boleh dilakukan ialah dengan pemusatan data dan data penerima bantuan dalam satu pangkalan data bersepadu yang menggabungkan semua penerima bantuan daripada agensi-agensi Kerajaan Persekutuan dan negeri supaya tidak berlaku pertindihan dalam usaha kerajaan membasmi kemiskinan tegar di negara kita ini.
Beberapa hari yang lepas, saya menerima satu salinan Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR). Telah dinyatakan dalam kertas tersebut seramai 126,372 isi rumah miskin tegar berdaftar dalam sistem eKasih.
Tuan Yang di-Pertua, penduduk di Malaysia adalah seramai 32.7 juta orang mengikut Jabatan Perangkaan Malaysia pada tahun 2022. Bermain di fikiran saya adakah jumlah 126,000 ini jumlah miskin tegar yang berdaftar dengan sistem eKasih itu tepat.
Masih ramai di bawah sana yang menunggu untuk masuk dalam senarai sistem eKasih ini. Di kawasan saya sendiri permohonan untuk tersenarai dalam eKasih ini pun beratus orang.
Oleh yang demikian, bagaimanakah perluasan pendaftaran sistem eKasih ini akan dijalankan sebagai sebahagian dari IPR untuk seluruh rakyat Malaysia yang miskin dan miskin tegar?
Tuan Mohd Nazri bin Abu Hassan - Merbok
Tuan Yang di-Pertua, antara masalah-masalah yang perlu diselesaikan sebelum, semasa dan selepas pelaksanaan IPR ini, ingin saya nyatakan seperti berikut.
Masalah teknikal dan pangkalan data berkaitan maklumat eKasih di peringkat awal pelaksanaan IPR. Misalnya berkaitan kemasukan maklumat yang tidak jelas dan diragui. Pengesahan maklumat, pengemaskinian maklumat, pembersihan maklumat serta proses yang lambat untuk berdaftar dan tersenarai dalam sistem eKasih ini.
Jadi Menteri Ekonomi perlu tengok perkara-perkara seperti ini supaya masalah mengenal pasti sasaran miskin tegar serta masalah pelaksanaan projek berkaitan IPR jelas dan terang dan tidak ada pertindihan di antara agensi-agensi pelaksana.
Masalah kekurangan perancangan menyeluruh dan holistik serta komprehensif menjadi isu yang perlu dilihat dalam pelaksanaan IPR. Sebagai contoh, marilah kita melihat kepada salah satu komponen IPR iaitu Inisiatif Usahawan Tani (INTAN). Dalam penghasilan produk pertanian sebagai salah satu inisiatif pembasmian kemiskinan, aspek pemasaran hanya dijadikan sebagai elemen sokongan sahaja.
Sedangkan para peserta memerlukan satu inisiatif pemasaran yang mantap dan terjamin serta penciptaan rantaian perbekalan yang mandiri supaya hasil yang dituai dapat dipasarkan secara meluas dan berjaya menembusi pasaran-pasaran yang dimonopoli dan dikawal oleh pihak-pihak tertentu. Kos operasi seperti baja dan racun juga perlu dikawal kerana sekarang ini para petani sendiri mengeluh kerana kenaikan kos yang amat ketara sekali kepada barang ini.
Tuan Yang di-Pertua, terjaminkah bahawa inisiatif-inisiatif ini dapat mengurangkan dan seterusnya merawat sindrom kebergantungan kepada bantuan kerajaan yang juga agak sinonim dalam kalangan golongan miskin dan miskin tegar sehingga menyebabkan kesukaran untuk menyemai sikap kemandirian dan berubah ke arah pemulihan ekonomi diri mereka sendiri serta berjaya keluar daripada belenggu kemiskinan.
Tuan Mohd Nazri bin Abu Hassan - Merbok
Tuan Yang di-Pertua, ingin saya maklumkan di Dewan yang mulia ini. Terdapat beberapa ruang penambahbaikan yang perlu dititikberatkan selain peruntukan yang adil dan seimbang antara negeri kaya dan negeri miskin terutamanya dalam mekanisme penyaluran peruntukan kepada inisiatif-inisiatif yang bakal dilaksanakan ini. Sebagai contoh, berkenaan peruntukan yang telah diumumkan oleh Yang Amat Berhormat Tambun sebagai Menteri Kewangan dalam pembentangan bajet Jumaat lepas. Wujud kelompangan dan ketidakadilan peruntukan kepada negeri-negeri yang ditadbir oleh Perikatan Nasional seperti Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu.
Malah, apa yang telah dirancang bertahun-tahun dan melibatkan perbelanjaan berpuluh juta untuk direalisasikan juga tidak akan diberikan kelulusan seperti pembangunan Kedah Aerotropolis. Kenapakah pembangunan yang telah dirancang ini yang tidak pun melibatkan perbelanjaan daripada Kerajaan Persekutuan dan bukan juga merupakan saingan kepada Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang tidak akan diberikan kelulusan? Sebaliknya memberikan pula peruntukan membesarkan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang.
Saya hendak tanya kepada Yang Amat Berhormat Tambun. Ada lagikah ruang untuk pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang ini? Kalau ada pun, kawasan laut mana pula yang akan ditambun, reclaim, dengan izin. Tindakan ini telah menafikan usaha Kerajaan Negeri Kedah untuk memberikan kemakmuran kepada penduduk di negeri sendiri dengan menawarkan peluang pekerjaan dan perniagaan kepada penduduknya. Projek ini juga mesti diteruskan demi masa depan penduduk- penduduk di negeri Kedah dan juga negara Malaysia.
Amat malang jika kerajaan sekarang ini memiliki sifat dendam kepada negeri- negeri yang diperintah oleh Perikatan Nasional. Adakah dengan melaksanakan strategi sedemikian, sokongan rakyat Kedah akan kembali kepada Kerajaan PH-BN ini dalam pilihan raya yang akan datang? Janganlah silap membuat percaturan wahai kerajaan PH-
Tuan Mohd Nazri bin Abu Hassan - Merbok
BN. Kami rakyat kedah tidaklah sebodoh yang disangka, seperti kata seorang Menteri Yang Amat Berhormat Tambun baru-baru ini.
Tuan Yang di-Pertua, negeri Kedah dikenali sebagai “Negeri Jelapang Padi” yang menyumbangkan satu pertiga daripada kumpulan beras negara. Bayangkan pengorbanan yang Kerajaan Negeri Kedah telah lakukan demi memberikan rakyat Malaysia beras yang mencukupi. Maka tidak wajarlah negeri Kedah dianaktirikan dalam arus pembangunan yang saksama seperti negeri-negeri yang diperintah oleh PH-BN.
Kedah telah mengorbankan hampir separuh daripada tanah dan sumber airnya untuk memberikan negeri-negeri lain terutamanya Pulau Pinang yang mendapat manfaat daripadanya. Inikah pembalasan daripada Yang Amat Berhormat Tambun yang menghukum negeri Kedah hanya kerana ia ditadbir oleh Perikatan Nasional? Cukai tetap dikutip juga daripada negeri kami. Akan tetapi, pembangunan dinafikan. Adakah ini cara kerajaan madani seperti yang dicanangkan oleh Yang Amat Berhormat Tambun?
Tuan Yang di-Pertua, kewujudan Northern Corridor Economic Region (NCR), dengan izin, yang telah dilancarkan pada tahun 2007 adalah satu inisiatif Kerajaan Persekutuan sejak Rancangan Malaysia Kesembilan lagi dengan tujuan untuk mewujudkan keseimbangan dan pembahagian ekonomi nasional yang saksama di antara wilayah yang merangkumi empat buah negeri di utara Semenanjung Malaysia iaitu Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak, dalam aspirasi kerajaan untuk menjadi high-income developed nation, dengan izin, iaitu negara yang berpendapatan tinggi.
Northern region ini mempunyai persekitaran yang sangat berkembang dan kondusif serta mesra perniagaan. Polisi perniagaan tempatan mengguna pakai piawaian penyampaian bertaraf dunia untuk memenuhi keperluan multinational corporation (MNC) dengan izin. Akibatnya, maka banyaklah MNC yang telah melabur dan menjadikan kawasan NCR ini sebagai salah satu hab perniagaan global mereka.
Pertumbuhan dan transformasi ekonomi rantau ini dipacu melalui pelbagai inisiatif yang diketuai oleh Northern Corridor Implementation Authority (NCIA) dengan izin, iaitu pihak berkuasa yang dipertanggungjawabkan untuk membangunkan wilayah utara ini.
Antara inisiatif NCIA di negeri wilayah utara ini ialah Northern Corridor Highway, Pulau Bunting Development, Pulau Pangkor Infrastructure Enhancement, Perlis Inland Port – minta maaf, sekejap.
Perlis Inland Port, Kedah Aerotropolis, Bukit Kayu Hitam Special Border Economic Zone, Chuping Valley Industrial Area, Kedah Rubber City, Kedah Eco-Innovations Park, Sidam Logistics, Aerospace And Manufacturing Hub (SLAM) dan SilverValley Technology Park (SVTP).
Begitu banyak inisiatif yang telah dirancang oleh NCIA dan kerajaan-kerajaan negeri di wilayah utara ini yang saya senaraikan tetapi sayang, tiada satu pun yang disebut oleh Yang Amat Berhormat Tambun dalam pembentangan bajet pada 24 Februari yang lalu untuk dilaksanakan.
Saya memohon kepada Yang Amat Berhormat Tambun untuk mempertimbangkan semula pelaksanaan inisiatif-inisiatif ini demi merapatkan jurang ekonomi di antara wilayah yang maju dan mundur dan mengurangkan penghijrahan pencari-pencari kerja ke bandar-bandar besar yang akan menyebabkan ketidakseimbangan KDNK di antara negeri dan wilayah.
Berkenaan peruntukan-peruntukan kepada Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kesihatan untuk sekolah-sekolah dan klinik-klinik daif. Janganlah pula nanti menteri-menteri pilih-pilih kasih...
Tuan Rushdan bin Rusmi - Padang Besar
Yang Berhormat Merbok, minta laluan.
Tuan Mohd Nazri bin Abu Hassan - Merbok
...oleh sebab negeri kami ini diperintah oleh Perikatan Nasional. Maka tidak pula diturunkan peruntukan-peruntukan tersebut. Peruntukan kepada Kementerian Kerja Raya untuk menaikkan jambatan- jambatan...
Tuan Rushdan bin Rusmi - Padang Besar
Yang Berhormat Merbok, sedikit sahaja. Setujukah Yang Berhormat Merbok apabila kerajaan pusat membantu negeri- negeri terutama di sebelah utara tanah air, secara automatik adalah membantu orang- orang miskin dan mengurangkan masalah kerajaan dalam memberi insentif pada orang miskin? Itu sahaja.
Tuan Mohd Nazri bin Abu Hassan - Merbok
Setuju dan saya minta ucapan itu dimasukkan ke dalam ucapan saya.
Tuan Mohd Sany bin Hamzan - Hulu Langat
Yang Berhormat Merbok, saya sedikit boleh? Hulu Langat, Hulu Langat. Boleh?
[Ketawa]
Tuan Mohd Nazri bin Abu Hassan - Merbok
Peruntukan kepada Kementerian Kerja Raya untuk menaikkan taraf jambatan...
Tuan Mohd Sany bin Hamzan - Hulu Langat
[Ketawa]
Tuan Haji Muhammad Islahuddin bin Abas - Mersing
Sudah Yang Berhormat Hulu Langat, duduk. Duduk.
Tuan Haji Mohd Hasnizan bin Harun - Hulu Selangor
Yang Berhormat Hulu Langat, nanti tunggu saya punya.
Tuan Mohd Nazri bin Abu Hassan - Merbok
...jalan-jalan raya, premis-premis kerajaan dan juga kepada Kementerian Dalam Negeri...
Tuan Mohd Sany bin Hamzan - Hulu Langat
Yang Berhormat Merbok, Hulu Langat sedikit tidak boleh ke?
Tuan Mohd Nazri bin Abu Hassan - Merbok
...untuk menaikkan ibu-ibu pejabat polis daerah dan balai polis yang daif juga haruslah ditambah untuk memastikan rakyat dan anggota polis dapat pembelaan yang sewajarnya.
Tuan Haji Mohd Hasnizan bin Harun - Hulu Selangor
Masa tidak cukup.
Tuan Mohd Nazri bin Abu Hassan - Merbok
Saya akan memperincikan permohonan-permohonan dalam kawasan saya kelak dalam mesyuarat peringkat Jawatankuasa nanti. Tuan Yang di-Pertua, izinkan saya menutup perbahasan saya ini dengan serangkap pantun.
Burung Merbok terbangnya tinggi, Terbangnya jauh ke Langkawi, Terima kasih saudara saudari, Memberi tumpuan sepenuh hati. Sekian, terima kasih.
[Tepuk]
Tuan Yang di-Pertua
Terima kasih, Yang Berhormat Merbok; on-time. Saya menjemput Yang Berhormat Tampin.
Seorang Ahli
Steady Yang Berhormat Tampin!
Dato' Mohd Isam bin Mohd Isa - Tampin
[Ketawa] Bismillahi Rahmani Rahim.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam sejahtera dan salam perpaduan.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua kerana mengizinkan saya untuk mengambil bahagian dalam perbahasan belanjawan sulung Kerajaan Perpaduan. Terlebih dahulu saya ingin merakamkan ucapan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Tambun yang telah membentangkan belanjawan 2023 dengan nilai peruntukan keseluruhan berjumlah RM388.1 bilion.
Pembentangan tersebut sudah semestinya telah mengimbau nostalgia 26 tahun lalu ketika beliau masih bersama UMNO dan membentangkan Belanjawan 1998 di Dewan yang mulia ini pada 17 Oktober 1997. Begitulah lumrah kehidupan. Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu. Apa yang pastinya semua ini adalah atas kehendak
Dato' Mohd Isam bin Mohd Isa - Tampin
dan keizinan daripada Yang Maha Esa. Kita mampu merancang, hanya Tuhan yang menentukan.
[Tepuk] Sepertimana belanjawan-belanjawan yang pernah dibentangkan dan dibahaskan, kita perlu memperakui bahawa belanjawan kali ini juga bukanlah sebuah dokumen yang sempurna. Kendatipun masih terdapat lompang-lompang yang boleh kita pertikai dan persoalkan, namun belanjawan ini masih menyajikan pelbagai kebaikan yang boleh kita hidangkan kepada rakyat.
Tuan Yang di-Pertua, saya difahamkan sebanyak RM11 bilion telah diperuntukkan menerusi belanjawan kali ini bagi tujuan pembangunan luar bandar berbanding RM10.53 bilion pada tahun sebelumnya. Peningkatan peruntukan ini telah membuktikan komitmen kerajaan untuk melaksanakan agenda pembangunan luar bandar agar lebih banyak pembangunan dapat dilaksanakan di desa dan di kawasan pedalaman.
Mudah-mudahan sejumlah peruntukan tersebut dapat menyokong agenda pembangunan sosioekonomi serta mewujudkan persekitaran kehidupan luar bandar yang sejahtera dan makmur sepertimana yang digariskan dalam Dasar Pembangunan Luar Bandar 2030.
Sehubungan dengan itu, saya ingin menggunakan kesempatan ini untuk mendapatkan maklumat yang lebih terperinci mengenai pembangunan di kawasan saya.
Berapakah nilai peruntukan keseluruhan yang akan dibelanjakan pada tahun ini bagi tujuan pembangunan dan baik pulih infrastruktur di Parlimen Tampin?
Sepertimana yang telah saya suarakan semasa perbahasan Titah Diraja minggu lalu, penduduk di Tampin telah lama mendambakan agenda pembangunan yang dibawa oleh Kerajaan Persekutuan. Menerusi sejumlah peruntukan yang besar dalam belanjawan kali ini, maka besarlah harapan kami untuk melihat penduduk di kawasan Parlimen Tampin juga turut menerima limpahan pembangunan ini.
Tuan Yang di-Pertua, sepanjang saya mengikuti pembentangan oleh Yang Amat Berhormat Tambun, saya ternanti-nantikan jika ada pengumuman rasmi yang akan dibuat untuk membantu dan memudah cara urusan para peneroka FELDA. Walau bagaimanapun, tiada pengumuman yang dibuat untuk menjawab segala persoalan yang sedang menjadi perdebatan dan kebimbangan para peneroka.
Isu pertama yang saya sebutkan adalah berkenaan keputusan untuk menghentikan pelaksanaan inisiatif penghapusan hutang yang dimulakan pada tahun 2021.
Dato' Mohd Isam bin Mohd Isa - Tampin
Berdasarkan kenyataan media oleh pengerusi FELDA pada Sabtu lepas, pelaksanaan inisiatif penghapusan hutang kali kedua sebanyak RM3.8 bilion tidak dapat diteruskan kerana telah memberikan impak besar terhadap aliran tunai. Persoalan yang bermain di fikiran saya adakah kerajaan sebelum ini tidak membuat sebarang kajian terlebih dahulu sebelum membuat keputusan untuk melaksanakan inisiatif tersebut.
Kendatipun begitu, mengapakah keputusan tersebut dilakukan tanpa membuat pengumuman rasmi agar dapat memberikan kefahaman yang jelas kepada peneroka?
Adakah ini bermakna bahawa jumlah yang telah diperakui oleh peneroka semasa menandatangani persetujuan penghapusan hutang akan menjadi amaun yang perlu dibayar semula? Apa pun jawapannya nanti, saya masih berharap supaya kerajaan mempertimbangkan semula perkara ini agar dapat mewujudkan situasi menang-menang antara peneroka dan FELDA.
Keadaan yang berlaku pada hari ini sudah tentunya memberi kesan terhadap aliran tunai golongan peneroka meskipun amun yang perlu dibayar adalah sekitar RM250 hingga RM350. Amaun tersebut mungkin kita lihat rendah bagi FELDA, tetapi ia besar bagi peneroka khususnya di saat ekonomi yang terus menekan ini.
Tuan Yang di-Pertua, isu yang kedua yang ingin saya sebutkan adalah berkenaan kaedah pembayaran hasil menerusi perbankan yang telah menimbulkan keresahan peneroka sejak dilaksanakan bermula 1 Januari 2023.
Dato' Mohd Isam bin Mohd Isa - Tampin
Secara peribadi saya menyambut baik hasrat kerajaan menerusi inisiatif MyDIGITAL supaya pembayaran bagi semua perkhidmatan dibuat tanpa tunai agar dapat mewujudkan penyelarasan yang lebih baik dan meningkatkan keselamatan transaksi. Hal ini kerana kaedah tersebut juga menimbulkan masalah kepada mereka berhubung lantikan waris sementara dan keputusan bicara kuasa yang perlu diselesaikan dalam jangka masa yang singkat.
Ekoran pembayaran kepada peneroka tidak dapat dibuat, mereka telah menghadapi masalah lain pula pada hari ini iaitu untuk melakukan pembayaran upah gaji, sewa lori dan sebagainya. Perkembangan aspek pendigitalan pada hari ini sememangnya memudahkan tetapi sekiranya boleh menimbulkan kemudaratan atau masalah lain sudah tentu ia perlu ditambah baik. Oleh itu saya mencadangkan supaya FELDA mempertimbangkan perkara ini dan memberi pilihan kepada peneroka untuk membuat ketetapan sendiri sama ada inginkan pembaharuan atau mengamalkan cara yang lama.
Tuan Yang di-Pertua, isu yang ketiga yang ingin saya sebutkan adalah berkenaan projek Perumahan Generasi Baharu FELDA (PGBF) yang telah lama membelenggu para peneroka iaitu hampir sedekad lamanya. Di Tampin misalnya terdapat dua buah projek perumahan generasi baharu yang terbengkalai di Tanah Rancangan Bukit Jalur dan Bukit Rokan Utara. Berdasarkan dokumen kertas putih FELDA yang pernah dibentangkan sebelum ini pada 10 April 2019, dasar kerajaan telah menetapkan untuk memberi keutamaan projek yang tahap kemajuan kerjanya 70 peratus.
Walau bagaimanapun, perkembangan kedua-dua projek PGBF ini tersebut dilihat begitu perlahan. Soalan saya bilakah kedua-dua projek PGBF tersebut dijangka boleh dimanfaatkan dan didiami oleh peneroka di kawasan tersebut? Selaku wakil rakyat yang mempunyai ramai penduduk dan terdiri daripada golongan peneroka dan generasi baharu, perkara ini memberi kesan terhadap diri saya. Selain itu, saya ingin mengetahui menerusi peruntukan belanjawan kali ini...
Tuan Manndzri bin Nasib - Tenggara
Yang Berhormat Tampin, sedikit Yang Berhormat Tampin.
Dato’ Mohd Isam bin Mohd Isa - Tampin
...berapakah peruntukan yang disediakan untuk menyiapkan PGBF yang terbengkalai di seluruh negara khususnya bagi kedua-dua tanah rancangan di kawasan saya? Sedikit Yang Berhormat Tenggara. Empat minit lagi.
Tuan Manndzri bin Nasib - Tenggara
Terima kasih Yang Berhormat Tampin, terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Saya ingin bertanya kepada Yang Berhormat Tampin sedar kah bahawa PGBF ini memang galak dibina di seluruh negara lah termasuk di Johor? Di kawasan saya Tenggara pun ada juga. Akan tetapi apabila siap kita sebenarnya berhadapan dengan masalah infrastruktur dan penyelenggaraan.
Jadi, setuju kah Yang Berhormat Tampin kalau sekiranya pihak FELDA juga perlu mengambil berat tentang PGBF yang telah siap sedia digunakan dan dihuni sekarang ini tetapi daripada segi maintenance infrastructure itu, macam contohnya sekarang ini musim banjir, tanah runtuh dan sebaginya, kita kadang-kadang rujuk kepada pihak FELDA, pihak FELDA kata bukan bawah territory dia? Kita merujuk kepada Majlis Perbandaran PBT pun bukan juga. Jadi masalah ini sepatutnya dikendalikan dengan baik oleh pihak pengurusan FELDA. Terima kasih.
Dato’ Mohd Isam bin Mohd Isa - Tampin
Saya setuju sangat dengan Yang Berhormat Tenggara dan perkara ini amat diharap dapat diselesaikan dengan segera.
Mengenai pengenalan semula model pembangunan perumahan berasaskan konsep bina sendiri oleh generasi kedua yang telah diumumkan semasa pembentangan Rancangan Malaysia ke-12, inisiatif ini memang telah mendapat nafas baharu dan disambut baik oleh golongan peneroka jika dibandingkan dengan projek PGBF.
Bagi menjayakan usaha tersebut saya berpendapat bahawa sudah tiba masanya untuk kerajaan mengkaji dan meminda Akta Penempatan Berkelompok GSA 1960 yang telah menggariskan satu lot hanya boleh membina sebuah rumah. Akta ini mungkin boleh dipinda kepada satu lot untuk membina dua buah rumah ataupun lebih agar dapat
Dato’ Mohd Isam bin Mohd Isa - Tampin
dimanfaatkan oleh generasi kedua dan perkara ini sudah tentunya selari dengan tuntutan semasa peneroka.
Seterusnya saya juga ingin mengetahui sejauh manakah usaha yang dilakukan oleh FELDA bersama kerajaan negeri untuk menjayakan model pembangunan perumahan berasaskan konsep bina sendiri ini. Pada Oktober 2022 yang lalu, Kerajaan Negeri Sembilan telah melancarkan Projek Rintis Kediaman Harapan Generasi Baharu FELDA dengan memberi tapak rumah berkeluasan minimum 4,000 kaki persegi bagi pembangunan rumah generasi baharu FELDA.
Justeru itu, saya berharap supaya FELDA menyambut perkara ini dan mempercepatkan proses pembangunannya. Inisiatif ini secara tidak langsung dapat menyelesaikan isu berbangkit bagi konsep bina sendiri iaitu kemudahan infrastruktur asas.
Oleh yang demikian, saya berharap FELDA dapat memberikan kerjasama kepada Kerajaan Negeri Sembilan supaya generasi kedua FELDA dapat merealisasikan impian mereka untuk membina rumah sendiri.
Isu yang keempat yang penting adalah berkenaan dengan pemasangan lampu jalan di Tanah Rancangan Bukit Jalur dan Bukit Rokan yang sudah lama tertangguh dan tidak dilaporkan kepada wakil rakyat ataupun Ahli Parlimen. Pada kesempatan ini, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada kerajaan yang telah memperuntukkan sebanyak RM50 juta untuk tujuan pemasangan lampu jalan di kawasan berkemalangan tinggi dengan segera.
Walau bagaimanapun, saya memerlukan penjelasan berhubung dengan perkembangan semasa projek lampu jalan yang telah diluluskan dua tahun lalu dengan nilai peruntukan RM1 juta. Apakah status terkini pemasangan lampu jalan tersebut?
Sedangkan peruntukan telah lama diluluskan dan disediakan. Perkara ini sudah tentulah mengecewakan saya sendiri apatah lagi para peneroka di kawasan tersebut. Selain itu saya juga berharap supaya lampu-lampu jalan di jalan masuk ke tanah rancangan turut diberikan perhatian seperti di gugusan FELDA Jelai dan sebagainya. Saya dapati banyak lampu yang sudah tidak bernyala dan memerlukan penyelenggaraan dengan kadar segera.
Tuan Yang di-Pertua, oleh kerana masa tidak mengizinkan, saya ingin menggunakan kesempatan ini untuk mengucapkan salam takziah kepada mangsa- mangsa banjir di seluruh negara yang telah dilaporkan mencecah seramai 22,520 orang setakat pagi tadi. Semoga mereka yang terkesan dengan musibah kali ini khasnya untuk penduduk di Tampin berada dalam keadaan selamat, diberikan kekuatan dan kecekalan untuk menempuhi dugaan ini. Turut didoakan agar perkara ini segera berlalu dan keadaan akan kembali pulih seperti sedia kala dengan kadar segera. Tidak dilupakan terima kasih yang tidak terhingga diucapkan kepada agensi-agensi kerajaan, NGO-NGO yang pantas dan telah banyak membantu dalam operasi menyelamat.
Berhubung musibah yang telah menjejaskan puluhan ribu orang rakyat pada ketika ini, saya ingin mengetahui berapakah peruntukan yang disediakan untuk meringankan bebanan mereka dan apakah bentuk bantuan yang akan disalurkan?
Besarlah harapan saya supaya kerajaan dapat memberikan bantuan seperti tahun lalu Tuan Yang di-Pertua yang meliputi semua aspek iaitu Bantuan Wang Ihsan, sumbangan pembelian barang keperluan, bantuan baik pulih rumah dan pelbagai diskaun serta rebate.
Tuan Yang di-Pertua, sekian sahaja daripada saya setakat ini. Saya berharap agar segala persoalan dan cadangan yang telah disuarakan dapat perhatian serta tindakan lanjut daripada kerajaan. Sekian, saya mohon menyokong. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Tuan Yang di-Pertua
Terima kasih Yang Berhormat Tampin.
[Tepuk] Saya jemput Yang Berhormat Jerantut.
Tuan Ir. Ts. Haji Khairil Nizam bin Khirudin - Jerantut
Bismillahi Rahmani Rahim, Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. [Membaca
Tuan Ir. Ts. Haji Khairil Nizam bin Khirudin - Jerantut
doa dan selawat] Terima kasih kepada Tuan Yang di-Pertua kerana memberikan ruang kepada saya untuk membahaskan Belanjawan 2023 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri ke-10 kita yang juga merupakan seorang Menteri Kewangan. Sebagai pembuka bicara, izinkan saya mengucapkan selamat menyambut Hari Tentera Darat yang ke-90 iaitu semalam.
[Tepuk] Kenapa ia dekat di hati saya untuk pengetahuan Tuan Yang di-Pertua, saya adalah anak kepada anggota ATM ibu dan ayah. Kami dibesarkan dalam keluarga yang susah. Saya dilahirkan dan diberikan pendidikan sehinggalah belajar di Universiti Teknologi Petronas.
Tuan Ir. Ts. Haji Khairil Nizam bin Khirudin - Jerantut
Kemudiannya bersama dengan Petronas dan beberapa buah syarikat multinasional yang lain dan akhirnya MP. Ia bermula daripada duit gaji ibu saya daripada ATM.
[Tepuk] Jadi saya memohon kepada kerajaan khususnya, banyak sangat bantuan ataupun pengorbanan yang telah dilaksanakan oleh anggota ATM ini dan saya harapkan kerajaan melalui KEMENTAH boleh mendengar rintihan para veteran tentera yang bersara sebelum 1 Januari 2013 iaitu seramai 78,546 orang yang di antaranya seramai 900 adalah veteran di Jerantut. Jadi kita mohon supaya, mereka mahu supaya suara mereka didengari dari sudut isu penyelarasan pencen mereka.
Tuan Yang di-Pertua, dasar belanjawan bukan sekadar penyataan tentang bagaimana hasil pendapatan itu dapat diperoleh dan juga dijana serta dibelanjakan.
Namun ia juga lebih daripada itu. Ia melibatkan kepada tiga faktor asas iaitu daripada sudut perkembangan ekonomi, menguruskan inflasi dan mengurangkan pengangguran.
Tuan Yang di-Pertua, kebetulan pada 14 Februari yang lepas telah berlakunya pembentangan belanjawan yang sama pada negara jiran kita iaitu Singapura yang telah dibentangkan oleh Timbalan Perdana Menterinya yang juga merupakan seorang Menteri Kewangan iaitu The Honorable Mr. Lawrence Wong yang di mana pada saya, boleh kita ambil beberapa poin menarik untuk kita jadikan sebagai exchanged notes yang boleh kita jadikan sebagai penambahbaikan kepada belanjawan kita. Di antaranya ialah;
(i) skim inovasi perusahaan ataupun enterprise innovation scheme, dengan izin yang mempertingkatkan potongan cukai kepada mana-mana syarikat yang melaburkan peruntukan kepada R&D;
(ii) melanjutkan skim kewangan perusahaan sehingga 2024 kepada PKS agar mereka boleh bertahan mengharungi kemelesetan ekonomi global serta memberi ruang kepada mereka ke arah R&D dan juga kepada peringkat antarabangsa;
(iii) memperkenalkan job skills integraters. Ini yang kita bahas tentang TVET, mismatch, brain drain dan sebagainya. Ini juga disentuh dan;
(iv) memberikan employment credit kepada syarikat yang menggaji individu kurang upaya dan juga bekas banduan.
Jadi ini di antara exchanged notes ya Tuan Yang di-Pertua, kalau kita boleh ambil untuk penambahbaikan.
Tuan Yang di-Pertua, saya hendak teruskan dengan perkataan ‘bersasar’ kerana inilah perkataan yang terpenting dalam keadaan kita berdepan dengan suasana kegawatan ekonomi global 2023 ini. Apabila Yang Amat Berhormat Tambun memulakan ucapannya dengan mengambil pengajaran daripada strategi pengurusan perbendaharaan dan perancangan ekonomi Nabi Yusuf Alaihissalam yang menggariskan sifat al-Hafiz iaitu amanah dan juga al-Amin iaitu cerdik sebagai asasnya. Maka keadilan yakni bukan sama rata tetapi meletakkan sesuatu di tempatnya perlu dilaksanakan oleh Kerajaan MADANI dalam mengorkestrakan belanjawan ini bagi dinikmati oleh semua lapisan masyarakat dan semua taruh termasuklah negeri-negeri yang diperintah oleh Perikatan Nasional.
Tuan Ir. Ts. Haji Khairil Nizam bin Khirudin - Jerantut
Sebagai satu contoh, saya ambil tentang kenaikan harga lantai getah. Cukup popular isu ini. Naik 20 sen, daripada RM2.50 kepada RM2.70. Alhamdulillah, terima kasih. Namun saya memohon kepada kerajaan untuk memikirkan barangkali boleh ditambah kuantum tersebut sebab kalau kita kira, saya tanya kawan-kawan saya di Jerantut, penoreh getah di Jerantut, ramai penoreh getah kita di sana. Di mana kalau naik 20 sen ini, dalam satu ekar Tuan Yang di-Pertua, kita dapat menoreh dalam lebih kurang 150 hingga 200 kilo. Jadi kalau naik 20 sen sekilo, kita hanya dapat lebih kurang RM40 sahaja dan kebanyakan penoreh getah ini menoreh pada lingkungan lima hingga enam ekar dan terpaksa berkongsi pula dengan tuan tanah.
Jadi kalau dapat tambahan RM40 sahaja sebulan, barangkali kita boleh beli lapan kali menu Menu Rahmah dengan harga RM5. Jadi perkara ini barangkali saya harapkan agar kerajaan dapat consider walaupun dalam teks belanjawan ditetapkan RM2.70 tetapi atas semangat bersasar ini, bolehlah kita naikkan kepada RM3 sekurang-kurangnya untuk kita bantu kepada mereka yang sepatutnya dan tidak rugi Tuan Yang di-Pertua. Kalau kita bantu mereka yang susah ini insya-Allah, Allah Taala akan meringankan beban kita dan yakinlah Allah Taala akan bantu belanjawan ini berjaya walaupun dia bermula pada bulan April. Ada lapan bulan sahaja lagi untuk penamat kepada this financial year. Begitu juga dengan pengeluaran bersasar KWSP. Di peringkat Perikatan Nasional, kami meletakkan perkataan ‘bersasar’. Dalam erti kata lain, kerajaan berhak untuk meletakkan prasyarat-prasyarat yang ketat kerana kita tahu kerajaan pastinya ada beberapa pertimbangan asas khususnya di dalam untuk mengawal selia perniagaan yang dilakukan oleh KWSP juga. Akan tetapi oleh kerana ini golongan yang memerlukan, ada di antara mereka yang tidak ada duit untuk membayar loan dan sebagainya dan perkara ini saya serahkan kepada kebijaksanaan pihak kerajaan untuk menentukan syarat- syaratnya. Yang penting, beri kepada mereka yang layak sahaja.
Kalau kita melihat kepada pandangan yang ke hadapan, dalam keadaan negara yang akan berdepan dengan situasi ageing nation pada tahun 2030 ke tahun 2035, saya memohon supaya pihak kementerian yang terbabit supaya boleh membentangkan di Parlimen yang mulia ini, blueprint social safety net policy yang lebih komprehensif agar keterjaminan kehidupan yang lebih sustainable untuk golongan rakyat yang terbabit.
Tuan Yang di-Pertua, memangkinkan urbanisasi melalui transformasi sektor pengangkutan. Projek infrastruktur pengangkutan yang berjaya pastinya memberi kesan yang positif terhadap urbanisasi. Maknanya kesan langsung kepada urbanisasi adalah infrastruktur pengangkutan. Oleh yang demikian, belanjawan kita ini dalam bahagian perbelanjaan pembangunan dari sudut pengangkutan, tidak seharusnya difokuskan kepada bandar-bandar metropolitan sahaja. Baik Kuala Lumpur, baik Johor Bahru, baik Pulau Pinang tetapi ia juga perlu dilihat kepada ketersambungan di antara daerah-daerah yang strategik di semua negeri di Malaysia.
Sekiranya ini semua dapat disusun melalui keutamaan yang terancang bukannya nak buat semua in one time. Kita tahu kita ada kekurangan kewangan tetapi dari sudut kita susun secara keutamaan yang terancang. Maka akan terhasillah peluang pekerjaan yang tidak hanya berpusat di bandar-bandar metropolitan sahaja dan ini di antara solution untuk mengurangkan masalah kesesakan di bandar metropolitan. Selain daripada kita memastikan contohnya Projek ECRL kita dapat disiapkan pada waktunya dengan jumlah punch list yang sedikit ataupun berangkali zero variation order, saya juga mencadangkan agar pihak kerajaan boleh menyemak kembali keperluan melaksanakan projek HSR yang menggabungkan hubung di antara Malaysia dan Singapura.
Saya juga mencadangkan kepada pihak kementerian ataupun pihak kerajaan untuk menerima cadangan daripada Yang Berhormat Bera sewaktu beliau menjadi Perdana Menteri untuk extend-kan membawa kepada Thailand. Ini kerana perkara ini perlu kita usahakan dan dimasukkan dalam Blueprint Transformasi Sektor Pengangkutan.
Tuan Yang di-Pertua, inilah asas kepada strategic partnership ASEAN. Kalau ketersambungan ini boleh dijadikan sebagai realiti, bayangkan betapa negeri-negeri yang terbabit pada jajaran tersebut dapat mendapat ekonomi hiliran yang sekurang-kurangnya mereka boleh generate ekonomi sendiri dan kurang bergantung kepada kerajaan pusat.
Tuan Ir. Ts. Haji Khairil Nizam bin Khirudin - Jerantut
Begitu juga saya ambil contoh di bumi Jerantut. Bumi Jerantut ini Tuan Yang di- Pertua, bumi yang indah. Penuh dengan flora dan fauna dan kami diberikan kelebihan Allah Taala dengan Taman Negara. Saya akan membawa satu usul pembukaan satu lagi pintu ke Taman Negara. Kalau sekarang ini ada satu pintu iaitu di Kuala Tahan, kita akan buat satu cadangan usul di dalam perbahasan di peringkat jawatankuasa nanti untuk kita buka satu pintu yang dinamakan sebagai Pintu Ulu Tembeling kerana di sinilah kita boleh memperbanyakkan lagi pelancong-pelancong dari dalam dan luar negara untuk datang ke Taman Negara dan melihat kecantikan alam yang Allah Taala kurniakan kepada bumi Jerantut.
Tuan Yang di-Pertua, kelestarian hutan. Dalam menuju Negara Bebas Karbon 2050, saya mengambil satu kenyataan daripada Yang Amat Berhormat Tambun berkenaan dengan pembalakan. Ini dia yang saya ambil, [Menunjukkan sekeping kertas] yang sewaktu beliau menjadi ketua pembangkang pada 20 Januari 2022 yang beliau menyatakan bahawasanya banjir Pahang buruk akibat pembalakan dan sekarang beliau telah menjadi Yang Amat Berhormat Perdana Menteri. Yang Berhormat-Yang Berhormat, saya mengambil apa kenyataan-kenyataan beliau. Beliau mengatakan bahawasanya moratorium perlu dilaksanakan bagi menghentikan semua aktiviti pembalakan termasuk yang telah diluluskan dan tidak memberi kelulusan baru untuk pembalakan tanpa mengira kedudukan, darjat ataupun pengaruh politik.
Tuan Ir. Ts. Haji Khairil Nizam bin Khirudin - Jerantut
Apa yang menariknya, beliau pada waktu itu menegaskan supaya didedahkan semua lesen pembalakan yang diluluskan dalam jangka masa lima tahun. Jadi, saya harapkan kementerian yang terbabit barangkali boleh mengambil kenyataan daripada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri sekarang untuk dibentangkan nanti dalam penggulungan 40 minit. Apakah nama-nama pengusaha yang telah mendapat lesen dalam lima tahun? Kita berharap supaya Yang Amat Berhormat Tambun, saya merayu supaya dapat dimasukkan item ini dalam belanjawan ini.
Walaupun ada kuantum yang dinaikkan daripada RM70 juta ke RM150 juta Tuan Yang di-Pertua tetapi moratorium ini ialah hasrat, angan-angan ataupun saya rasakan- bukan angan. Saya tarik balik kenyataan angan-angan. Ia adalah political will Yang Amat Berhormat Tambun sewaktu beliau menjadi Ketua Pembangkang, ini dia. Jadi, kita berharap supaya dapat dijadikan...
Tuan Mohd Sany bin Hamzan - Hulu Langat
Yang Berhormat Jerantut, sedikit Yang Berhormat. Saya tidak tahu Yang Berhormat Jerantut, cuma saya hendak tahu lesen pembalakan ini ia di bawah kuasa kerajaan negeri. Betulkah apa yang saya sebutkan itu?
Terima kasih Yang Berhormat Jerantut.
Tuan Ir. Ts. Haji Khairil Nizam bin Khirudin - Jerantut
Terima kasih. Benar. Ini yang saya maksudkan apa yang dinyatakan oleh Yang Amat Berhormat Tambun waktu itu. Kerajaan Pusat akan menguruskan polisi, moratorium ini ialah polisi di peringkat Kerajaan Pusat untuk membantu kerajaan negeri. Benar, kelulusan daripada kerajaan negeri tetapi kalau kita ada something, moratorium for instance, kita berikan kepada kerajaan negeri dan kita minta supaya dikurangkan pembalakan. Perkara ini insya-Allah boleh dilaksanakan. Saya cadangkan oleh sebab PH menguasai beberapa buah negeri, barangkali boleh mulakan di negeri PH dahulu, kalau tidak mahu kepada negeri PN yang banyak menjaga hutan...
Tuan Yang di-Pertua
Sila gulung Yang Berhormat Jerantut.
Tuan Ir. Ts. Haji Khairil Nizam bin Khirudin - Jerantut
Baik. Terakhir, terima kasih Tuan Yang di-Pertua, bagi saya landing.
Saya ingin membaca satu ayat Al-Quran yang sebelum ini ada rakan saya, Ahli Parlimen Bukit Bendera, saya hormati Yang Berhormat yang membaca ayat ini. Cuma ayat ini tidak dibacakan dengan habis. Saya hendak baca habis. Saya baca sekali dengan ayatnya ya...
[Membaca sepotong ayat Al-Quran] Ayat daripada Surah Hujurat, sedikit saja. Maksudnya, “Wahai manusia, sungguh Kami telah menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan. Kemudian, Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa, bersuku-suku agar kamu saling kenal-mengenal”. Ini yang diberhenti kat situ Yang Berhormat, saya sambung
Tuan Ir. Ts. Haji Khairil Nizam bin Khirudin - Jerantut
sedikit saja. “Sesungguhnya yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah SWT adalah orang yang paling bertakwa, sungguh Allah SWT mengetahui lagi Maha Teliti”. Saya ambil daripada tafsir Ibnu Katsir, Tuan Yang di-Pertua, supaya saya tidak lari daripada maksud tafsirnya. Daripada tafsir Ibnu Katsir memberitahu, unsur kejadian manusia adalah daripada Adam dan Hawa, yang membezakannya ialah tingkatan ketaatan kepada Allah SWT dan rasul-Nya. Kenal-mengenali ini akan mewujudkan kesefahaman, perpaduan, name it- Madani ya, yang menatijahkan takwa. Maknanya, end result-nya adalah takwa.
Definisi “takwa” nya ialah Tuan Yang di-Pertua, melaksanakan amal maaruf nahi mungkar dan termasuk dalam penolakan rasuah yang membawa perasuah ini ke arah keadilan yang saya menyokong sepenuhnya Yang Amat Berhormat Tambun dalam semangat ini. Akhirnya, saya juga memuji Yang Amat Berhormat Tambun yang tegas berpendirian menolak LGBT sebagaimana beliau merupakan Perdana Menteri Malaysia.
“LGBT dan Komunis”, ini kenyataannya...
[Sambil menunjukkan sekeping kertas] Sebagai akhirnya, sedikit pantun...
Tuan Yang di-Pertua
Sudah dua kali akhir dah tu...
[Ketawa]
Tuan Ir. Ts. Haji Khairil Nizam bin Khirudin - Jerantut
Pantun boleh?
Tuan Yang di-Pertua
Ya, ya, pantun akhir sekali ya?
Tuan Ir. Ts. Haji Khairil Nizam bin Khirudin - Jerantut
Pantun, pantun. Ada dua rangkap tetapi oleh sebab saya menghormati Tuan Yang di-Pertua, saya letak satu sahaja.
*Daging dicincang menjadi halus.
Dimasak bersama rebung buluh; Kalau pemimpin bersifat telus, Wabak rasuah hancur luluh.* Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Tuan Yang di-Pertua
Baik, terima kasih Yang Berhormat Jerantut. Yang Berhormat Pasir Gudang.
Tuan Hassan bin Abdul Karim - Pasir Gudang
*Bismillahi Rahmani Rahim.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh* dan salam sejahtera.
Tuan Yang di-Pertua, Pasir Gudang mengucapkan terima kasih kerana diberi peluang untuk sama-sama membahaskan Belanjawan 2023. Saya bermula dalam ucapan ini untuk menyampaikan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Tambun kerana berjaya membentangkan belanjawan negara. Bukan satu perkara yang mudah. Bagi saya, apabila Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dan merangkap Menteri Kewangan berjaya membentangkan belanjawan pada hari Jumaat, 24 Februari yang lalu, itu sahaja sudah satu kejayaan. Ertinya, dalam tempoh yang pendek, biasanya belanjawan itu memerlukan beberapa bulan, enam bulan dan sebagainya. Akan tetapi Yang Amat Berhormat Tambun berjaya membentangkan itu.
Tentu sekali belanjawan ini macam resipi makanan juga. Ada kelemahan di sana sini tetapi apa yang saya lihat, kalau kita melihat secara positifnya, banyak perkara yang dapat saya senaraikan yang baik. Sekurang-kurangnya bagi tahun 2023 ini, kita ada belanjawan negara yang jumlahnya besar, lebih besar daripada sebelum ini. Saya berasa perlu menghargai kesanggupan Yang Amat Berhormat Tambun sebagai Menteri Kewangan dan Perdana Menteri, sanggup memikul tanggungjawab menguruskan negara kita ini daripada segi kewangan dengan jumlah hutang yang dibawa daripada kerajaan- kerajaan sebelum ini, lebih RM1 trilion. Maknanya, beliau sanggup memimpin kerajaan.
Bagi saya, ini satu permulaan yang baik. Memang belanjawan ini kita boleh kritik di sana sini tetapi ini satu permulaan yang baik dan saya berharap kepada Ahli-ahli Parlimen dari blok pembangkang supaya sama-sama kita menyokong belanjawan ini.
Tuan Hassan bin Abdul Karim - Pasir Gudang
Sebagaimana pada tahun-tahun yang lepas sebagai Ketua Pembangkang, Yang Amat Berhormat Tambun- ketika itu Yang Berhormat Port Dickson, telah memberi sokongan kepada kerajaan, kepada Menteri Kewangan waktu itu untuk meluluskan belanjawan yang dibentangkan.
Pada hari ini, dalam keadaan negara kita banjir di beberapa buah negeri, termasuk di Johor, jangan sesekali kita memperlekehkan soal belanjawan ini. Maknanya, negara perlukan wang untuk operasi dan juga pembangunan. Dalam keadaan banjir yang melanda negara kita sekarang ini, ertinya kerajaan perlukan peruntukan.
Jadi, saya walaupun secara ikhlas menyatakan dalam masa beberapa bulan ini, sejak terbentuknya kerajaan ini, banyak yang saya ucapkan, banyak yang saya tulis yang agak kritikal, yang menegur kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri ini. Itu ialah satu rekod dan saya mempertahankan apa yang saya nyatakan itu. Akan tetapi saya percaya kepada takdir bahawa negara kita sekarang ini berada dalam keadaan di mana pemimpin yang ada sekarang ini sama ada kita suka atau tidak suka, ini ialah pemimpin yang memimpin negara kita ini untuk membolehkan negara kita ini dalam semua aspek seperti politik, ekonomi serta kewangan ini untuk kita melangkah ke hadapan.
Tuan Hassan bin Abdul Karim - Pasir Gudang
Tuan Yang di-Pertua, saya melihat beberapa perkara positif. Pertama ialah, hasrat kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri untuk menghapuskan kemiskinan tegar.
Ini bukan perkara retorik, bukan. Maknanya, maaf kerana berkongsi dari segi peribadi, usaha Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dalam perjuangan untuk menghapuskan kemiskinan, menegakkan keadilan bukan baru sehari dua ini, bukan baru kita kenal madani ini, tidak. Sebelum ada lagi istilah madani ini, saya telah kenal beliau sejak tahun 1971.
[Tepuk] Ini bermakna, sebahagian daripada umur beliau habis di tahanan, di penjara kerana memperjuangkan rakyat miskin, rakyat Melayu, rakyat di Kedah, di Baling. Jadi ertinya...
Tuan Mohd Sany bin Hamzan - Hulu Langat
Yang Berhormat Pasir Gudang, sikit. Yang Berhormat Pasir Gudang, Hulu Langat.
Tuan Hassan bin Abdul Karim - Pasir Gudang
Silakan.
Tuan Mohd Sany bin Hamzan - Hulu Langat
Boleh atau tidak kita katakan bahawa...
Tuan Hassan bin Abdul Karim - Pasir Gudang
Panjang pun tidak mengapa.
Tuan Mohd Sany bin Hamzan - Hulu Langat
Ini adalah merupakan satu keazaman dan juga semangat politik Yang Amat Berhormat Tambun untuk menyelesaikan soal berkaitan dengan masalah kemiskinan dalam negara kita. Minta pandangan daripada Yang Berhormat Pasir Gudang, terima kasih.
Tuan Haji Mohd Hasnizan bin Harun - Hulu Selangor
Steady Yang Berhormat Hulu Langat.
Tuan Hassan bin Abdul Karim - Pasir Gudang
Saya setuju Yang Berhormat Hulu Langat, iaitu boleh kita tegur Yang Amat Berhormat Tambun. Kita boleh kritik, boleh.
Akan tetapi, jangan cederakan beliau. Maknanya kalau main boxing bolehlah gunakan kick glove itu kan dan lebih pada beri kesedaran.
Kita perlukan pemimpin seperti ini, saya berharap kalau tahun ini belanjawan bukannya perfect dapat kita lancarkan, tahun hadapan lebih baik lagi, tahun akan datang lebih baik lagi, kalau boleh kerajaan yang kita panggil Kerajaan Perpaduan ini sampai tempoh dia lima tahun, berjalan dengan baik. Insya-Allah selepas pilihan raya itu kita kempenlah semasa pilihan raya nanti. Jadi, ertinya kita dapat buat sesuatu yang konkrit dan waktu kita bercakap ini, beliau berada, melawat dari satu negara ke satu negara untuk memimpin negara kita.
Ini tentang hapuskan rasuah. Hapuskan rasuah ini ialah satu perjuangan, tidak kurang juga saya ada tegur di sana-sini. Akan tetapi, maknanya saya nampak hasrat Yang
Tuan Hassan bin Abdul Karim - Pasir Gudang
Amat Berhormat Tambun untuk menghapuskan ketirisan, untuk membasmi rasuah ini adalah sebahagian daripada perjuangan beliau yang disokong oleh ramai pendokong untuk membawa perubahan kepada negara kita.
[Timbalan Yang di-Pertua (Dato' Ramli bin Dato' Mohd Nor) **mempengerusikan Mesyuarat****] Saya sangat gembira apabila kerajaan Yang Amat Berhormat Tambun memperkenalkan dasar cukai yang saya anggap yang progresif. Maknanya, bermula dengan dasar percukaian yang progresif ini, beransur-ansur akan membina satu sistem cukai di negara kita ini untuk masa hadapan bagi menghasilkan revenue hasil bagi negara kita.
Tuan Yang di-Pertua, saya percaya bahawa kita perlukan satu keadaan di mana kestabilan ekonomi, kestabilan politik di negara kita ini dapat kita tegakkan supaya akan wujud satu keadaan yang kondusif untuk pembangunan, pemulihan ekonomi, pemulihan kehidupan rakyat.
Dalam masa yang sama, saya memohon juga kepada Yang Amat Berhormat Tambun selaku Menteri Kewangan dan Perdana Menteri memikirkan begini. Ada dua, tiga perkara. Negara kita adalah sebuah negara federalism, bukan hanya ada Perjanjian Malaysia 63, tetapi ada perjanjian yang lebih awal daripada itu, Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu.
Ertinya, adalah lebih cantik kalau Yang Amat Berhormat Tambun dapat dengar juga rintihan-rintihan dari blok pembangkang, dari negeri-negeri Pantai Timur dan utara yang mahukan supaya hak-hak di bawah federalism. Saya bercakap ini dari segi perundangan iaitu, dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan iaitu hak-hak, peruntukan- peruntukan bagi negeri-negeri selain dari Sabah dan Sarawak yang mesti kita laksanakan, tetapi juga negeri-negeri yang memberi hasil oil dan gas dan sebagainya mesti kita tunaikan. Ertinya, mesti transparent.
Kedua, saya perlu sebut juga di sini dan saya berharap Yang Amat Berhormat Perdana Menteri melihatkan, misalnya di Johor sekarang banjir. Di Johor ada 26 orang Ahli Parlimen, seramai 24 orang Ahli Parlimen daripada PH dan BN, Perikatan Nasional terdapat dua orang, seorang di Pagoh dan seorang lagi di Mersing. Sekarang bayangkanlah, banjir di Mersing. Yang Berhormat Mersing tidak diberi peruntukan. Ahli Parlimen yang lain dapat peruntukan, jadi bagaimana dia hendak tolong sedikit sebanyak kepada rakyat dia.
Tuan Haji Muhammad Islahuddin bin Abas - Mersing
Terima kasih Yang Berhormat, terima kasih, betul.
[Tepuk]
Tuan Hassan bin Abdul Karim - Pasir Gudang
Bukan semua Ahli Parlimen kita ini kaya-kaya. Betul tak?
Seorang Ahli
Betul.
Tuan Hassan bin Abdul Karim - Pasir Gudang
Maknanya, saya tidak boleh– kalau untuk kita okey, tetapi untuk pihak lawan– pandai-pandailah, tidak boleh macam itu.
Ini mesti adil.
Datuk Ahmad Marzuk bin Shaary - Pengkalan Chepa
Yang Berhormat, sikit mencelah.
Tuan Hassan bin Abdul Karim - Pasir Gudang
Silakan.
Datuk Ahmad Marzuk bin Shaary - Pengkalan Chepa
Kita hari ini berada di sini untuk membahaskan satu bajet bagi diperuntukkan untuk dibelanjakan bagi tahun ini.
Dijemput termasuk Ahli-ahli Parlimen daripada pembangkang. Jadi, kalau kita Ahli-ahli Parlimen daripada pembangkang bahas sehingga berjaya meluluskan bajet ini, kemudian kita dinafikan, ini adalah satu ketidakadilan yang sangat nyata. Jadi, saya sangat respect dengan Yang Berhormat Pasir Gudang. Mohon pandangan terhadap itu.
Tuan Hassan bin Abdul Karim - Pasir Gudang
Ini mungkin– akan datang tidak tahulah, umur bukan panjang sangatkan? Sekurang-kurangnya saya hendak rekodkan di dalam Dewan ini, iaitu kita buatlah sesuatu yang betul iaitu perlu ada pindaan undang- undang automatik. Tidak kira pembangkang ataupun kerajaan, hak kepada Ahli Parlimen diberi sama rata, apa masalahnya.
[Tepuk]
Dato’ Sri Dr. Haji Ismail bin Hj. Abd Muttalib - Maran
Yang Berhormat.
Tuan Hassan bin Abdul Karim - Pasir Gudang
Jadi, kalau ini Yang Amat Berhormat Tambun dapat lakukan, memanglah cantik, kita akan sokong.
Dato’ Sri Dr. Haji Ismail bin Hj. Abd Muttalib - Maran
Yang Berhormat.
Tuan Hassan bin Abdul Karim - Pasir Gudang
Saya percaya ramai orang yang boleh sokong...
Dato’ Sri Dr. Haji Ismail bin Hj. Abd Muttalib - Maran
Yang Berhormat Pasir Gudang, boleh mencelah sedikit.
Tuan Hassan bin Abdul Karim - Pasir Gudang
Ya.
Dato’ Sri Dr. Haji Ismail bin Hj.Abd Muttalib - Maran
Apakah ini Tuan Yang di- Pertua, apakah ini bermakna Yang Berhormat Pasir Gudang bersetuju dengan apa, ataupun tindakan yang diambil oleh Perdana Menteri Kesembilan, di mana telah memberikan peruntukan kepada semua Ahli Parlimen. Saya memberi sokongan kepada Yang Berhormat supaya Yang Amat Berhormat Tambun membuat pertimbangan yang terbaik demi rakyat dan negara, terima kasih.
Tuan Hassan bin Abdul Karim - Pasir Gudang
Ya. Ertinya, sudah sampai pada masanya iaitu maknanya, kalau kita hendak panggil itu reform ke perubahan, maknanya kita lakukan lah iaitu bersikap adil. Jangan kita menganiaya, jangan jadikan mangsa rakyat kita – di Dabong sana, di Kemubu sana, ada besan saya, ada menantu saya di sana, dia tidak sokong parti yang saya wakili.
Tuan Yang di-Pertua
Yang Berhormat, sila gulung.
Tuan Hassan bin Abdul Karim - Pasir Gudang
Dia sokong PAS atau Perikatan Nasional. Janganlah hukum mereka, di Terengganu ramai waris saya juga, jadi bermakna – begitulah ertinya kita bagi peluang yang adil kepada rakyat. Saya percaya Yang Amat Berhormat Tambun dengar perbahasan kita. Sekian, dahulu, Tuan Yang di-Pertua, saya menyokong Rang Undang-undang Belanjawan ini. Terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua
Terima kasih Yang Berhormat Pasir Gudang, berikutannya dipersilakan Yang Berhormat Kuala Langat.
Dato’ Dr. Ahmad Yunus bin Hairi - Kuala Langat
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Bismillahi Rahmani Rahim, [Membaca selawat]
Dato’ Dr. Ahmad Yunus bin Hairi - Kuala Langat
Pertama, saya ucapkan terima kasih kepada Tuan Yang di-Pertua yang memberikan saya peluang untuk berbahas dalam ucapan Belanjawan 2023 yang telah dibentangkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri yang juga sifatnya sebagai Menteri Kewangan.
Saya melihat daripada perbahasan-perbahasan, masih lagi banyak diutarakan, dibincang, dibahaskan oleh Ahli-ahli Parlimen, sama ada di sebelah kerajaan ataupun di sebelah pembangkang yang menyentuh berkaitan dengan isu-isu berkaitan perkhidmatan kesihatan terutamanya yang melibatkan soal infrastruktur, fasiliti dan juga sistem penjanaan kesihatan tenaga kerja yang saya kira rata-ratanya inilah realiti yang berlaku.
Saya kira seperti yang kita sedia maklum bahawa menjaga kesihatan ini ialah merupakan salah satu daripada maqasid syariah yang perlu untuk kita jaga nyawa dan juga keturunan dan ia bertujuan untuk bertanggungjawab kepada manusia atas amanah
Dato’ Dr. Ahmad Yunus bin Hairi - Kuala Langat
Allah SWT ke atas diri mereka, tubuh badan dan juga anggota serta kesihatan yang diberikan oleh Allah adalah wajib dijaga, dipelihara dan dilarang daripada disakiti ke atasnya.
Saya mengambil peluang di sini untuk mengucapkan tahniah kepada Yang Berhormat Menteri Kesihatan terutamanya Kementerian Kesihatan yang diperuntukkan dengan peruntukan kedua tertinggi daripada jumlah keseluruhan belanjawan yang telah dibentangkan sejumlah RM36.3 bilion yang mana belanjawan mengurus sebanyak RM31.5 bilion dan belanjawan pembangunan RM4.8 bilion.
Saya kira ini bukan satu jumlah yang besar kerana saya juga melihat daripada jumlah belanjawan yang telah diutarakan tidak banyak perkara yang sesuatu yang baru.
Kebanyakannya merupakan peruntukan-peruntukan seperti sebelum-sebelum ini kerana keperluannya yang begitu besar. Cuma, mungkin ada sedikit penambahan termasuklah Program Perubatan Madani yang diperuntukkan RM120 juta dan ini program yang dilaksanakan di negeri Selangor untuk manfaat kepada rakyat dan ini satu perkara yang baik.
Akan tetapi, saya ingat asasnya yang kita perlu melihat kepada aulawiyat ataupun keutamaan dari sudut perkhidmatan kesihatan ini apa yang perlu dilakukan. Sudah tentu tidak boleh melakukan semua sama ada menaikkan infrastruktur, naik taraf, membina hospital baru, soal fasiliti, soal menambahkan lagi sejumlah yang begitu besar tenaga kerja daripada kontrak kepada tetap. Begitu juga dengan paramedik dan sebagainya yang hari ini juga ada permintaan daripada kumpulan sokongan paramedik yang tidak ditaja oleh kerajaan. Mereka juga ingin mengetahui apa nasib mereka.
Begitu juga dengan soal ubat-ubatan yang satu ketika dahulu tahun lepas kita pernah terputus bekalan ubatan dan perlu jaminan daripada kerajaan. Oleh sebab itu, saya melihat bahawa ada priority yang harus kita lihat dan juga mungkin di peringkat Menteri membentangkan kepada kita ataupun memaklumkan hala tuju secara strategi bagaimana reformasi perkhidmatan kesihatan di negara kita ini dapat kita mempertingkatkan.
Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengutarakan beberapa perkara ataupun permasalahan di kawasan saya termasuklah berkaitan dengan perkhidmatan kesihatan. Saya mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri sebelum ini yang mana telah meluluskan pembangunan sebuah pusat kesihatan di kawasan saya, Pusat Kesihatan Sijangkang KK3 yang telah selesai permohonan merancang dan reka bentuk oleh JKR Selangor dan saya dimaklumkan pelawaan tender dijangka pada Mei 2023.
Saya harapkan pembinaan ini tidak akan berlaku kelewatan kerana kekhuatiran saya dahulu, pusat kesihatan di Sijangkang ini adalah daripada satu buah bangunan kayu seperti dispensari. Kemudian, hampir 20 tahun ia sudah berpindah ke balai raya yang usianya hampir setengah dekad dan keadaannya yang saya kira cukup, bukan tidak selesa malahan tidak selamat. Kalau ini tidak dilakukan dengan segera, kekhuatiran saya berlaku sepertimana kebakaran di klinik desa juga bersebelahan dengan tempat ini yang akhirnya ia sangat memberikan impak yang tidak baik.
Oleh sebab itu, saya merasakan ini antara perkara-perkara yang harus dilihat dari sudut keselamatannya, infrastruktur ataupun prasarana pusat-pusat kesihatan dan hospital-hospital kita. Saya kira ini bukan berlaku di Kuala Langat tetapi kebanyakan dari kawasan-kawasan kita juga.
Oleh sebab itu, saya merasakan bahawa apakah jalan penyelesaian secara bersasar ataupun hala tuju di peringkat kementerian supaya akhirnya perkara-perkara yang seperti mana dalam perjumpaan Yang Berhormat Menteri dengan doktor pakar, MMA, doktor-doktor kontrak tempoh hari dan juga bagaimana saranan-saranan daripada MMA dan juga daripada Ketua Pengarah Kesihatan sendiri dalam keadaan situasi perkhidmatan kesihatan negara kita ini boleh disusun atur dan akhirnya memberikan kebaikan kepada kita- semua.
Jadi Tuan Yang di-Pertua, saya juga mengharapkan dalam bajet yang disediakan ini akan memberikan juga naik taraf kepada Hospital Banting yang saya sebutkan sebelum
Dato’ Dr. Ahmad Yunus bin Hairi - Kuala Langat
ini kerana Hospital Banting ini adalah salah satu hospital yang ada MoU dengan Pusat Perubatan Universiti Malaya (UMMC) yang melahirkan ramai pelajar-pelajar sebagai tempat attachment kepada mereka berlatih untuk menjadi seorang doktor secara praktik di samping pelajaran-pelajaran yang akademik.
Saya kira sudah tentulah bukan sahaja di hospital seperti ini tetapi saya mengharapkan di semua hospital yang meletakkan doktor-doktor pelatih ataupun mahasiswa-mahasiswa sebagai pusat attachment untuk mereka membuat latihan-latihan harus disediakan dengan prasarana yang terbaik dan juga kemudahan-kemudahan yang baik. Kalau tidak bayangkan apakah bentuk doktor-doktor yang akan kita keluarkan dengan mungkin kemampuan mereka untuk berkhidmat selepas mereka lulus daripada sebagai seorang mahasiswa.
Selain daripada itu juga, saya ingin menyentuh berkaitan dengan beberapa perkara lain yang berlaku di kawasan saya. Pertama adalah berkaitan dengan soal kesesakan lalu lintas. Di Kuala Langat ini kawasan yang pesat membangun yang kita sebutkan Klang Valley 2, Lembah Kelang yang kedua yang mana hari ini pun kita telah melihat jajaran Westcoast Expressway dari Taiping hinggalah ke Bandar Mahkota, Kuala Langat yang dijangkakan akan siap pada 2025 akan mula beroperasi.
Saya melihat pada hari ini pun sudah berlaku kesesakan disebabkan oleh pembangunan yang pesat apatah lagi nanti kalau di dalam Rancangan Selangor Pertama
(RS-1) melibatkan pembangunan Integrated Development Region In South Selangor
(IDRIS) dan juga pembangunan Pulau Carey yang disebutkan oleh Menteri Kewangan dalam pembentangan tempoh hari.
Saya kira ini akan menambahkan kesesakan. Hari ini sudah ada beberapa spots di Daerah Kuala Langat termasuklah di Banting, di Teluk Panglima Garang, di Bandar Saujana Putra yang sangat mengecewakan kepada rakyat. Terutamanya kalau saya hendak sebutkan pada hari ini di Bulatan Saujana Putra yang menyebabkan penduduk- penduduk di kawasan situ, kadang-kadang bila mereka hendak keluar pagi hantar anak sekolah, pergi kerja, mereka bangun seawal 4.30 pagi, 5 pagi mereka telah keluar kerana kesesakan yang begitu teruk yang sehingga hari ini masih belum dapat diselesaikan.
Ada perancangan untuk membangunkan jejambat di Bandar Saujana Putra yang hari ini sudah tiga kali ditangguhkan tempoh siapnya yang pelbagai alasan menyebabkan kelewatan itu. Saya melihat antara alasan yang dibangkitkan disebabkan oleh kelewatan ini iaitu soal permit kerja daripada LLM di sebelah Elite Highway. Saya tidak tahulah sama ada mungkin kita tidak serius di peringkat kerajaan negeri ataupun ada birokrasi yang menyebabkan ini dibagikan sebagai alasan yang sentiasa sehingga berlaku kelewatan seperti ini. Saya harapkan ini dapat dilihat apatah lagi nanti kalau WCE ini yang akan siap beroperasi, ia akan menyebabkan kesesakan yang lebih besar lagi.
Saya melihat dengan keadaan di FT5 di kawasan Taman Seri ataupun jalan ke Banting ini ruangannya terlalu kecil. Saya ingat kerajaan mungkin boleh melihat kesesakan yang begitu ketara apabila waktu puncak. Mungkin jalan bertingkat juga boleh difikirkan sebagai jalan penyelesaian di masa akan datang.
Kedua, berkaitan dengan sekolah daif. Saya kira peruntukan yang besar kepada Kementerian Pendidikan yang terbesar dalam bajet ini dan juga melihat keprihatinan bagaimana sekolah-sekolah daif ini juga akan ada peruntukan yang agak besar. Cuma, saya juga ingin supaya kerajaan juga dapat melihat bagaimana sekolah-sekolah yang padat dengan pelajar-pelajar terutamanya di kawasan saya termasuklah.
Dato’ Dr. Ahmad Yunus bin Hairi - Kuala Langat
Saya ingat ada beberapa buah sekolah di Kuala Langat ini, termasuklah Sekolah Kebangsaan Kebun Baharu, Sekolah Jenjarom yang begitu padat. Sebagai contoh, Sekolah Kebangsaan Kebun Baharu, pada sesi tahun 2023-2024. Sekolah bakal menerima murid seramai 2,858 orang. Kelas pra dan perdana memerlukan sebanyak 72 buah kelas sedangkan bilik darjah fizikal yang ada hanya 32 buah bilik darjah sahaja.
Permohonan untuk kemasukan Tahun 1 pada tahun 2023 adalah seramai 580 orang, sedangkan yang diluluskan masuk hanya sekadar 490 orang. Saya boleh katakan
Dato’ Dr. Ahmad Yunus bin Hairi - Kuala Langat
disebabkan oleh pembangunan perumahan yang berlaku begitu rancak dan saya melihat penambahan pelajar-pelajarnya lebih kurang dalam 200 orang hingga 300 orang setiap tahun dan ini sangat memberikan kesan.
Saya harapkan kerajaan sudah melihat bagaimana dalam keadaan yang sebegini boleh ada satu pembangunan sekolah lagi di kawasan ini. Saya agak kecewa apabila sebelum ini di Kerajaan Negeri Selangor, ketika itu dibincangkan dalam mesyuarat di peringkat kerajaan negeri, ada memberikan balik tanah untuk sekolah di kawasan Rimbayu yang berdekatan seluas 15 ekar.
Kemudian semasa di bawah Kerajaan Pakatan Harapan diluluskan lima ekar untuk pembangunan SJK(C) Bukit Fraser. Bukan soal saya tidak menyokong pembangunan itu tetapi ada prioritinya kepada sekolah kebangsaan ataupun murid.
Lambakan anak-anak murid di sekolah ini yang saya katakan sekolah padat, kenapa diberikan kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Bukit Fraser yang dialihkan ke Bandar Rimbayu ini padahal ada lain yang saya dimaklumkan kerana tidak ada keperluan pada masa itu untuk dibangunkan. Oleh sebab tidak ada kewangan, maka dibangunkan sekolah tersebut.
Saya juga ingin menyentuh soal keperluan kepada sekolah-sekolah dalam bentuk keperluan kewangan dalam perkara-perkara yang berkaitan dengan aktiviti-aktiviti kokurikulum. Hari ini kalau kita lihat sekolah-sekolah rendah boleh membuat tuntutan sebanyak RM4 setiap seorang, setahun untuk keperluan bantuan sukan sekolah dan sebanyak RM6 untuk sekolah menengah.
Sekolah rendah sebanyak RM4, sekolah menengah sebanyak RM6. Saya kira ini jumlah yang terlalu kecil dan sebahagian daripada sekolah-sekolah ini pun mereka akan memohon sumbangan kepada wakil-wakil rakyat. Sama ada dalam apa-apa juga program tetapi malangnya apabila kita tidak tentu lagi sama ada akan mendapat peruntukan ataupun tidak dan ini menjadi kekangan.
Begitu juga dengan keperluan perabot. Saya boleh katakan di kawasan saya ini, setiap tahun saya boleh katakan lebih kurang anggaran dalam RM30 ribu hingga RM40 ribu, kita belikan kerusi, meja kekurangan yang tidak dapat ditampung oleh kementerian kerana ada keperluannya. Takkan kita sanggup untuk melihat anak-anak kita belajar di atas lantai dan inilah antara perkara-perkara yang saya kira perlunya...
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Yang Berhormat, sila gulung.
Dato’ Dr. Ahmad Yunus bin Hairi - Kuala Langat
...Peruntukan kewangan untuk Ahli Parlimen. Saya ingat untuk akhirnya saya hendak sentuh juga berkaitan – Tuan Yang di-Pertua, sedikit sebagai penutup. Saya hendak sentuh juga berkaitan dengan pembangunan Pulau Carey yang disebutkan oleh Menteri Kewangan akan dibangunkan oleh swasta.
Saya hendak tahu bila pembangunan ini akan berlaku? Dalam bentuk bagaimana pemberian kepada pihak swasta ini dan bagaimana berlaku? Saya mengharapkan pembangunan ini juga difikirkan oleh kerajaan negeri, tidak akan menyampingkan kepada masyarakat yang berada di Pulau Carey terutamanya masyarakat Orang Asli.
Saya mengharapkan pihak kerajaan negeri mahu melihat bagaimana soal pendidikan masyarakat Orang Asli ini kita ambil cakna. Kita tidak menafikan bahawa Orang Asli juga ramai yang berjaya tetapi di kawasan saya ini di Pulau Carey masih lagi ramai mereka yang tertinggal dari sudut pendidikannya, yang akhirnya mereka juga tertinggal dari sudut kerjaya.
Saya mengharapkan melalui program-program sama ada TVET dan sebagainya, kita boleh melibatkan Orang-orang Asli ini supaya mereka dapat berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan semua masyarakat ataupun kaum-kaum yang lain.
Saya ingat sekadar itulah yang berkesempatan untuk saya sebutkan pada hari ini.
Saya ucapkan terima kasih kepada Tuan Yang di-Pertua dan saya menyokong bajet yang telah dibentangkan. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Terima kasih Yang Berhormat Kuala Langat. Berikutannya dipersilakan Yang Berhormat Bukit Bendera.
Puan Syerleena binti Abdul Rashid - Bukit Bendera
Assalamualaikum. Salam perpaduan dan salam Malaysia Madani. Terlebih dahulu izinkan saya mengucapkan terima kasih ke atas peluang yang diberikan untuk saya berbahas dan juga tahniah kepada Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, atas pembentangan Bajet 2023.
Bajet ini secara amnya adalah menyeluruh dan inklusif kerana ia mengambil kira pelbagai latar belakang rakyat Malaysia dan juga memenuhi kesemua enam nilai rukun rangka kerja Malaysia Madani iaitu kemapanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan insan.
Tuan Yang di-Pertua, komponen pertama belanjawan yang ingin saya ketengahkan adalah peruntukan untuk veteran. Adalah tanggungjawab kerajaan untuk menjamin peralihan anggota veteran kepada kehidupan awam berjalan tanpa sebarang kesukaran. Jadi, peralihan yang berkesan memastikan negara tidak kehilangan sumber manusia yang berharga.
Jadi, peruntukan untuk veteran yang diumumkan dalam belanjawan walaupun lengkap ia boleh diperhalusi lagi. Beberapa cadangan seperti mewujudkan jabatan ataupun agensi penyelaras untuk mengurus keperluan semua veteran sambil menyediakan akses kepada perumahan mampu milik dan juga penjagaan kesihatan terutamanya jika mereka kurang upaya.
Sama juga menyediakan akses kepada pendidikan latihan dan juga kursus TVET.
Saya ingin menekankan sekali lagi bahawa di sini anggota veteran perlulah diserap masuk ke dalam agenda TVET kebangsaan. Sepertimana yang telah dicadangkan oleh Yang Berhormat Jerantut dan Yang Berhormat Ketereh, saya ingin menyatakan bahawa kita perlu mewujudkan satu penyediaan insentif [Tepuk] kepada syarikat-syarikat yang mengambil anggota veteran untuk bekerja.
Selain daripada matlamat adalah untuk meningkatkan kemahiran anggota- anggota dalam bidang pengendalian dron, keselamatan siber dan juga penyelenggaraan pesawat. Di sini program-program TVET perlulah direka untuk membantu veteran memperoleh kemahiran baharu, kemahiran teknikal dan juga insaniah yang diminati dalam pasaran, pekerjaan awam seperti pengurusan perniagaan, pertanian, hospitaliti dan sebagainya.
Tuan Yang di-Pertua, saya amat menyokong penekanan yang diberikan dalam melindungi keselamatan dan juga kebajikan kanak-kanak. Saya berharap dengan peruntukan Bajet 2023 kepada PDRM, khususnya untuk Bahagian D11, PDRM mampu untuk bertindak lebih agresif dalam menyiasat kes-kes seksual kanak-kanak.
Saya juga mengalu-alukan pembentukan Jabatan Pembangunan Kanak-kanak di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat yang berada di bawah bidang kuasa Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Ini kerana Jabatan Pembangunan Kanak-kanak mampu menyediakan perkhidmatan, memberi sokongan moral secara menyeluruh kepada kanak-kanak.
Di sini saya mencadangkan supaya sistem sokongan kesihatan mental untuk semua yang menjadi mangsa serangan dipertingkatkan dan juga kempen-kempen kesedaran diperluaskan lagi ke tahap akar umbi. Saya juga ingin mengambil peluang untuk mencadangkan keperluan dalam mengurangkan bebanan rakyat terutamanya ibu bapa yang bekerja iaitu untuk kita teliti semula sesi persekolahan yang membebankan.
Sekolah satu sesi perlu dikaji dan dilaksanakan semula kerana perkara ini mampu mengurangkan beban waktu ibu bapa, beban kesesakan lalu lintas dan juga beban psikologi pelajar dan juga guru. Selain itu, pada waktu petang waktu pelajar boleh diisikan dengan aktiviti sosial lain seperti sukan, kelas fardu ain dan sebagainya.
Puan Syerleena binti Abdul Rashid - Bukit Bendera
Tuan Yang di-Pertua, apabila kita berbicara tentang pendidikan kanak-kanak, kita tidak boleh terlepas pandang orang kurang upaya, yang membentuk sekitar 1.9 peratus daripada jumlah penduduk di Malaysia. Daripada jumlah itu sebanyak 30.5 peratus adalah kanak-kanak kurang upaya dan kanak-kanak ini juga mesti diberi akses kepada pendidikan.
Di kawasan Parlimen Bukit Bendera terdapat dua buah sekolah pendidikan khas.
Satu, sekolah menengah dan satu lagi sekolah rendah untuk orang kurang upaya dan kedua-dua adalah untuk kanak-kanak yang kurang upaya pendengaran dan juga pertuturan. Akan tetapi bagaimana pula dengan kanak-kanak yang mempunyai jenis kekurangan upaya yang lain? Bagaimanakah kita boleh menyediakan mereka dengan pendidikan yang berpatutan?
Jadi menurut JKM, negeri Pulau Pinang sehingga Mac 2022, terdapat sekurang- kurangnya seramai 36,523 OKU berdaftar di Pulau Pinang di mana sebanyak 12.4 peratus adalah pelajar OKU.
Maka terdapat keperluan untuk mengembangkan sekolah pendidikan khas, mempromosi dan juga menggalakkan guru mengkhusus dalam pendidikan keperluan khas dan juga bekerjasama dengan persatuan dan juga organisasi swasta lain untuk OKU, untuk menambah baik SPK dan juga mempromosi dan juga menyedia intervensi awal.
Puan Syerleena binti Abdul Rashid - Bukit Bendera
Jadi, selain daripada penambahbaikan dari segi infrastruktur, penekanan juga perlu diberikan dari segi kepakaran, pengetahuan dan juga tenaga kerja dalam mengendalikan sekolah-sekolah di samping menggalakkan ibu bapa untuk mendaftarkan anak-anak mereka yang kurang upaya di sekolah-sekolah ini.
Objektif utama adalah untuk memastikan bahawa setiap pelajar mampu dan juga berjaya melanjutkan pendidikan mereka sama ada ke tahap universiti ataupun institusi vokasional dan kita perlu beri jaminan supaya mereka dapat juga bekerja dan juga menyumbang kepada keluarga, masyarakat, bangsa tanpa sebarang diskriminasi.
Tuan Yang di-Pertua, apabila pandemik COVID-19 melanda negara kita, antara yang paling teruk terjejas ialah industri seni budaya kreatif. Juga, seni kita tahu ya banyak menyumbang kepada ekonomi negara melalui pelancongan dan juga ekonomi gig.
Seni dan kraf tradisional negara, muzik, tarian, kesusasteraan dan juga masakan adalah bukti kekayaan dalam warisan budaya negara. Ia dapat juga menjadi satu daripada sumber pendapatan kepada industri pelancongan. Dengan mempromosikan dan juga memelihara aset budaya ini, rakyat dapat memastikan identiti dan juga warisan budaya tidak hilang ditelan zaman. Bak kata pepatah, “Tidak lapuk dek hujan, tidak lekang dek panas”. Dalam Belanjawan 2023 pada baru-baru ini, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri mengumumkan bahawa belanjawan sebanyak RM250 juta untuk sektor pelancongan manakala sektor seni dan budaya hanya diperuntukkan RM102 juta bagi dana kandungan digital untuk mempergiatkan pasaran produk seni karya kreatif tempatan.
RM25 juta bagi program perpaduan melalui aktiviti kebudayaan dan juga kesenian di peringkat sekolah dan komuniti. Jadi, bagi sektor yang sentiasa menyumbang kepada sektor pelancongan terdapat juga satu keperluan besar untuk memperhalusi serta meningkatkan bajet untuk diperuntukkan bagi sektor seni dan budaya kreatif.
Jadi, di sini saya juga ingin cadangkan penggubalan Dasar Industri Kreatif Negara dan juga memperkemaskan sistem pelesenan, kaji pula cukai hiburan dan juga entertainment fee, dengan izin dan juga rangka kerja undang-undang untuk mengurangkan tekanan yang sering kali dihadapi oleh artis-artis tempatan.
Saya rasa Malaysia boleh juga dijadikan juga satu hab pusat penggambaran dan juga hab muzik melalui kewujudan sektor pelancongan muzik. Jadi, apabila artis membuat persembahan di Malaysia, mereka menarik juga peminat-peminat untuk melancong di sini dan juga menyewa bilik-bilik hotel, homestay dan juga pada masa yang sama membeli makanan di warung-warung kita. Sekali gus menyemarakkan lagi ekonomi tempatan kita.
Puan Syerleena binti Abdul Rashid - Bukit Bendera
Sama juga dengan artis tempatan seperti Coma, sebuah band dari Pulau Pinang dan juga Yuna, artis tempatan yang cukup terkenal di arena antarabangsa. Di mana mereka pergi di situlah peminat-peminat mereka akan ikut. Jadi, hubungan simbiotik antara seni, pelancongan dan juga muzik ialah sesuatu yang patut diperkasakan.
Terlalu banyak artis dan ahli muzik tempatan yang sepatutnya diberi ruang dan juga peluang untuk kongsikan hasil-hasil karya mereka. Jadi, di sini perlunya ada iltizam politik untuk kita rangkakan dasar yang benar-benar membantu rakyat orang tempatan kita. Jadi persoalannya, apakah kesan sekiranya peruntukan RM25 juta ini dikongsikan seluruh negara? Bukankah industri kesenian, muzik, perfileman yang paling terkesan?
Izinkan saya membaca kenyataan daripada CENDANA yang telah diterbitkan baru-baru ini.
Dengan izin, “...what was illustrated in mid-2021 included more than 90 percent of the arts and culture practitioners being negatively impacted, 77 percent having lost most or all of their income, 75 percent of the jobs have reduced in the market and eight percent of arts venues have closed permanently.” Seni dan budaya di Malaysia sememangnya boleh dijadikan satu daya tarikan hebat untuk pelancong dari seluruh dunia sebenarnya. Jadi, dengan mempamerkan warisan budaya negara, negara kita boleh menarik pengunjung yang berminat untuk mempelajari sejarah, adat resam dan juga tradisi Malaysia.
Ini seterusnya dapat membantu meningkatkan juga ekonomi negara dan juga mewujudkan peluang pekerjaan baharu yang selaras dengan ekonomi digital termasuklah pengarkiban warisan budaya Malaysia dalam format digital. Kemudian membuahkan, menghasilkan satu repositori budaya yang sepatutnya melibatkan semua kaum, budaya, genre dan juga sejarah termasuklah budaya indie di Malaysia sekarang.
Akhirnya saya rasa kita boleh merasionalkan aset budaya semasa untuk membangunkan aset budaya baharu dan di sini kita boleh juga memperkasakan industri kreatif negara dan juga kita boleh mengeksportkan budaya Malaysia.
Jadi, cuba bayangkan artis tempatan zaman 80-an seperti Dato’ Shake yang telah mencungkil nama di arena antarabangsa, khususnya di Perancis. Band tempatan seperti Zero, Masdo, Putrabumi. Tidak salah kalau mereka dijadikan duta Malaysia di arena muzik.
[Tepuk] Jadi, semasa kita meneruskan perbahasan Belanjawan 2023, saya harapkan cadangan-cadangan yang telah saya bangkitkan dapat diberi pertimbangan yang serius oleh kementerian-kementerian yang berkenaan. Jadi dengan itu, Bukit Bendera menyokong. Sekian, terima kasih.
[Tepuk]
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Terima kasih Yang Berhormat Bukit Bendera. Dipersilakan, Yang Berhormat Maran.
Dato’ Sri Dr. Haji Ismail bin Hj. Abd Muttalib - Maran
Bismillahi Rahmani Rahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua kerana izinkan saya untuk turut membahaskan ucapan Belanjawan 2023 yang telah pun dibentangkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan.
Tahniah kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri kerana sempat membentangkan Belanjawan 2023 ini iaitu berjumlah RM388.1 bilion, meliputi RM289.1 bilion atau 74.5 peratus untuk perbelanjaan mengurus dan RM99 bilion atau 25.5 peratus peruntukan pembangunan yang melibatkan 26 buah kementerian.
Oleh sebab kesuntukan masa, saya akan menyentuh dalam beberapa perkara sahaja. Namun demikian, pada kesempatan ini saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan takziah kepada mangsa-mangsa banjir di seluruh negara; di Johor dan lain- lain tempat termasuk di kawasan saya sendiri, Maran.
Saya juga mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri, jawatankuasa bencana daerah, pasukan petugas bomba, polis, RELA, JPAM, kesihatan, semua ahli
Dato’ Sri Dr. Haji Ismail bin Hj. Abd Muttalib - Maran
jawatankuasa bencana daerah, pegawai kesihatan, pegawai kebajikan dan seluruh kepimpinan masyarakat dan juga NGO yang telah memberikan bekerjasama bagi membantu mangsa-mangsa banjir.
Jika anda berada di sana dan melihat saya di Parlimen pada hari ini, sampaikan salam saya kepada mangsa-mangsa banjir di kawasan saya dan insya-Allah saya akan menziarahi mereka sekejap lagi. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Tuan Yang di-Pertua, perkhidmatan awam ataupun pegawai awam dan kakitangan awam tidak boleh dinafikan jasa dan pengorbanan mereka. Walau apa pun perubahan landskap politik negara, namun amanah dan tanggungjawab yang perlu dijalankan oleh pegawai awam tidak terabai.
Kini kita mempunyai, kurang lebih satu juta orang penjawat awam dan kita juga mempunyai lebih kurang satu juta orang pesara kerajaan. Akan tetapi, saya minta jangan kita pertikaikan sama ada sesiapa sekalipun, jangan pertikaikan jasa dan perkhidmatan, pengorbanan yang telah dilakukan oleh pegawai awam.
Mereka tidak memilih parti politik, mereka menjalankan tanggungjawab yang perlu dijalankan, diamanahkan kepada mereka bagi memastikan supaya negara berjalan dengan baik. Pembangunan diberikan kepada rakyat, kesejahteraan dan kemakmuran dijaga. Oleh sebab itulah, saya minta Yang Amat Berhormat Perdana Menteri harap dapat memikirkan apakah pulangan yang harus diberikan kepada pegawai-pegawai awam.
Hari ini kalau kita membaca di dada-dada akbar, dikatakan kenaikan gaji tidak dapat diberikan kepada pegawai-pegawai awam kerana kalau diberikan kenaikan gaji kepada mereka, kantung wang negara tidak akan ada lagi.
Dato’ Sri Dr. Haji Ismail bin Hj. Abd Muttalib - Maran
Tuan Yang di-Pertua, jangan lupa bahawa perkhidmatan awam adalah cukup besar kepada negara kita. Begitu juga Tuan Yang di-Pertua, kita terdengar ada bunyi- bunyi yang menyatakan bahawa ramai penjawat awam terdiri daripada kaum Melayu.
Kena ingat bahawa tidak kurang juga ramai orang Melayu yang terlibat dengan pasukan keselamatan sama ada polis, tentera dan sebagainya.
Kalau kita lihat tinjauan terdahulu, mengatakan bangsa-bangsa lain tidak berminat dengan pasukan keselamatan termasuklah polis dan tentera. Oleh sebab itulah, saya harap sepatutnya kita hargai jasa pegawai-pegawai awam yang sebahagian besar mereka adalah terdiri daripada kaum bumiputera, Melayu sama ada di Semenanjung, Sabah dan juga Sarawak termasuklah Orang Asli, Tuan Yang di-Pertua.
Saya hendak pergi kepada berikut, Tuan Yang di-Pertua, iaitu perkhidmatan kesihatan dan perubatan. Banyak telah dibicarakan oleh rakan-rakan saya sama ada di pihak kerajaan dan pembangkang bahawa perkhidmatan kesihatan ini amat penting di negara kita. Justeru, saya ingin mengingatkan sekali lagi, Tuan Yang di-Pertua, hospital yang lengkap dan canggih, pegawai kesihatan yang berpengalaman dan berkemahiran mestilah disediakan dan diperlukan oleh negara kita.
Saya minta kerajaan dan Kementerian Kesihatan melihat beberapa keperluan utama bagi klinik-klinik uzur dan berusia termasuk di kawasan saya di Maran iaitu sebuah klinik yang usianya lebih daripada 50 tahun di mana memerlukan kemudahan kenderaan baharu dan juga aset-aset yang lain di mana di Maran ini belum ada lagi, Tuan Yang di- Pertua, hospital. Saya ingat dalam Pahang mungkin di daerah-daerah lain, inilah daerah dan Parlimen yang tidak mempunyai hospital.
Tuan Yang di-Pertua, sebab itulah saya hendak ingatkan kepada kerajaan bahawa Hospital Maran ini sudah diluluskan sejak RMKe-11 lagi iaitu semasa pemerintahan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri yang keenam. Kemudian, terus berlarutan sehingga Pakatan Harapan memerintah bagi tempoh 22 bulan dipimpin oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri yang ketujuh, pelaksanaan hospital ini agak perlahan.
Kemudian, kerajaan berpindah kepada kepimpinan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri yang kelapan dan hospital ini diteruskan. Insya-Allah, akan diteruskan di
Dato’ Sri Dr. Haji Ismail bin Hj. Abd Muttalib - Maran
mana Menteri Ekonomi ketika itu, bekas Ahli Parlimen Gombak telah meluluskan RM200 juta bagi projek Hospital Maran ini.
Apabila kerajaan berpindah kepada Kerajaan Keluarga Malaysia di bawah Yang Amat Berhormat Perdana Menteri yang kesembilan, maka projek ini diteruskan dan cadangan peruntukan sebanyak RM350 juta telah pun dipertimbangkan, dicadangkan.
Akan tetapi malang, Tuan Yang di-Pertua, apabila kerajaan baharu memerintah, projek ini telah pun dinafikan dan telah ditangguhkan. Saya difahamkan telah dibatalkan.
Tuan Yang di-Pertua, saya hendak ingatkan bahawa isu persoalan pelaksanaan Hospital Maran ini telah pun dititahkan oleh Almarhum Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Ahmad Shah, paduka ayahanda kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Saya, pada tahun lepas telah menyembahkan perkara ini kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan. Baginda menitahkan kita, Yang Berhormat, kepada saya, “Pastikan Yang Amat Berhormat Dato’ Seri laksanakan projek ini dengan segera dan insya-Allah, saya hendak projek hospital ini, saya akan letakkan batu asasnya.” Tuan Yang di-Pertua, saya tidak mahu nanti rakyat marah. Saya kira kerja saya telah saya jalankan. Bertahun-tahun saya telah perjuangkan hospital ini dan telah diluluskan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri yang keenam, disusuli oleh Perdana Menteri yang kelapan, kesembilan dan hari ini telah ditolak oleh Perdana Menteri yang kesepuluh.
Saya tidak tahu, gambaran sudah cukup berikan kepada kita semua, kepada kerajaan bahawa rakyat telah banyak menolak kerajaan pada hari ini. Di Pahang, umpamanya, gambaran yang cukup besar telah diberikan oleh rakyat di bawah bagaimana andai kata kerajaan masih lagi bertindak negatif kepada rakyat, percayalah rakyat akan menolak dan akan menafikan jasa yang diberikan oleh kerajaan.
Tuan Yang di-Pertua, saya hendak tahu, kenapa hospital ini dibatalkan? Saya juga hendak tahu, apakah pembatalan ini kerana akibat politik? Apakah kerajaan akan terus mencadangkan projek baharu, saya tidak tahu. Saya harap ini telah pun diluluskan.
Saya minta Menteri Kesihatan, kerajaan memberikan perhatian kepada perkara ini.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Kedua ialah berkaitan dengan kampung baharu. Kita ada beberapa kampung baharu di negara kita. Kampung Baru di Kuala Lumpur, ini kampung orang yang special khusus untuk orang Melayu. Kampung baru Cina, kita ada 507 buah kampung baharu Cina. Kita ada kampung baharu yang diwujudkan pelbagai penempatan baharu akibat daripada bencana alam, banjir dan sebagainya.
Saya ingin tahu kepada kerajaan, hari ini kampung baru Cina ini masih berterusan. Orang kampung saya bertanya kerana asas kampung baharu ini diwujudkan adalah kerana menjadi pusat pemulihan atau pun resettlement untuk komunis atau pun masyarakat Cina yang terpengaruh dengan komunis. Mereka bertanya kepada saya, apakah masih ada ideologi komunis? Saya kata saya kira tidak ada dah. Oleh sebab itulah, saya minta kerajaan menilai kembali supaya kampung baharu ini kalau dapat disekalikan dengan kampung-kampung baharu yang lain, yang berada bukan sahaja di kampung baru Cina, tetapi kampung baru tradisional Melayu yang tempat-tempat kampung baharu yang diwujudkan kerana terlibat dengan bencana alam dan sebagainya.
Peruntukan RM104 juta tahun ini, saya kira telah pun ditambah 100 peratus akan dibahagikan kepada semua kampung baharu yang terdapat di negara kita ini. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Saya harap kerajaan dan Perdana Menteri dapat menimbangkan perkara ini dan begitu juga Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan. Satu lagi isu yang saya hendak bawa, Tuan Yang di-Pertua, adalah penglibatan pakar perumahan dari Singapura. Kita telah mendapat maklumat bahawa kerajaan yang baharu ini di bawah kepimpinan yang baharu telah mencadangkan supaya pakar-pakar perumahan dari Singapura diambil untuk memainkan peranan memikirkan apakah keperluan yang boleh dilakukan untuk mencadangkan program-program pembangunan perumahan di negara kita.
Dato’ Sri Dr. Haji Ismail bin Hj. Abd Muttalib - Maran
Tuan Yang di-Pertua, sebenarnya kita tidak kurang pakar-pakar perumahan di tempat kita ini. Sebenarnya kita telah mempunyai— kerajaan telah membentuk satu panel of experts, panel pakar-pakar perumahan yang terdiri daripada berbagai-bagai disiplin.
Pegawai awam, parti politik, pakar-pakar bank, ahli bank, pakar-pakar perniagaan, syarikat-syarikat perumahan yang berpengalaman untuk memberikan pandangan dan syor kepada kerajaan bagaimana kita boleh membangunkan sistem atau pembangunan projek-projek perumahan negara kita ini sesuai dengan keperluan negara, bukan ambil daripada negara lain.
Saya bimbang, Tuan Yang di-Pertua...
Tuan Chow Yu Hui - Raub
Yang Berhormat Maran, mencelah. Mohon celah.
Dato’ Sri Dr. Haji Ismail bin Haji Abd Muttalib - Maran
Masa tidak ada. Saya banyak lagi. Kehadiran pakar-pakar luar, sebenarnya sebahagian mereka...
Tuan Chow Yu Hui - Raub
Saya hendak tanya, kenapa kita tidak boleh ambil kebaikan daripada negara lain?
Dato’ Sri Dr. Haji Ismail bin Haji Abd Muttalib - Maran
Yang Berhormat, kita ada disiplin, peraturan.
Tuan Chow Yu Hui - Raub
Mohon mencelah. Sedikit sahaja. Sedikit sahaja.
Dato’ Sri Dr. Haji Ismail bin Haji Abd Muttalib - Maran
Saya tidak benarkan.
Sila duduk. Ini floor saya. Bagus macam itu, Yang Berhormat, berdisiplin sedikit.
Tuan Yang di-Pertua, sebenarnya kadang-kadang kedatangan pakar-pakar luar ini bukan mereka hendak membantu kita. Mereka menagih kesempatan apakah peluang yang boleh mereka ambil, lantas mereka membuka peluang-peluang yang baik untuk diri mereka dan akhirnya, kita bukan sahaja tidak mendapat kepakaran, tetapi kita akan hilang harta benda atau pun mungkin peluang yang ada di negara kita.
Tuan Yang di-Pertua, satu lagi perkara yang hendak saya sebutkan ialah supaya kerajaan melihat apakah dasar-dasar yang perlu diketengahkan kerana banyak dasar lama ataupun undang-undang lama yang tidak sesuai lagi pada hari ini. Kita harap supaya kerajaan dan seluruh kementerian meneliti apakah akta-akta yang rasanya tidak sesuai lagi dan perlu diubah suai dan dapat dipinda sesuai dengan keperluan negara kita.
Jadi, saya harap pihak kerajaan akan melihat apakah peluang-peluang penambahbaikan bukan sahaja peruntukan bajet yang kita bentangkan setiap tahun yang memang kita tidak boleh elakkan, tetapi apakah pendekatan-pendekatan baharu yang harus kita fikirkan supaya membolehkan pengembangan ataupun bajet yang kita luluskan ini dapat kita salurkan lebih meluas bukan sahaja kepada pihak kakitangan awam, pihak perkhidmatan keselamatan, bahkan kepada seluruh lapisan masyarakat di negara kita termasuklah masyarakat Orang Asli di pedalaman dan sebagainya.
Tuan Yang di-Pertua, terima kasih banyak atas keizinan untuk saya membahaskan Bajet 2023 yang telah pun dibentangkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri. Terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua
Terima kasih Yang Berhormat Maran. Dipersilakan Yang Berhormat Libaran.
Datuk Suhaimi bin Nasir - Libaran
Bismillahi Rahmani Rahim.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Datuk Suhaimi bin Nasir - Libaran
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua dan juga rakan-rakan Dewan yang mulia ini memberi peluang kepada saya untuk menyuarakan suara rakyat dan mewakili pendapat, pandangan serta mengemukakan cadangan-cadangan untuk kepentingan rakyat berhubung Belanjawan 2023. Tuan Yang di-Pertua, izinkan saya untuk merakamkan
Datuk Suhaimi bin Nasir - Libaran
ucapan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri selaku Menteri Kewangan atas pembentangan Bajet 2023 pada 24 Februari yang lalu.
Belanjawan 2023 disifatkan sebagai belanjawan rakyat kerana tertumpu kepada cabaran ekonomi rakyat secara menyeluruh di samping memperbaiki kedudukan kewangan negara. Kita mengalu-alukan komitmen Kerajaan Perpaduan dalam mempercepatkan projek Pan Borneo serta Sabah-Sarawak Link Road sepanjang 1,000 kilometer dengan memperuntukkan RM20 bilion. Sebagai Ahli Parlimen dari Sabah, saya mengucapkan terima kasih atas bajet, peruntukan untuk negeri Sabah sebanyak RM6.5 bilion pada 2023 ini.
Tuan Yang di-Pertua, bagi merealisasikan matlamat Belanjawan 2023 ini, kali ini saya ingin membawa beberapa cadangan agar kerajaan mempertimbangkan serta menambah baik keperluan rakyat dalam belanjawan kali ini. Parlimen Libaran ini memiliki tiga kategori kawasan iaitu bandar, semi bandar dan luar bandar. Oleh yang demikian, kita perlu mewujudkan fasiliti yang seimbang demi kebaikan rakyat kerana pembangunan yang seimbang boleh mendapat manfaat dan dinikmati rakyat di Libaran itu sendiri.
Isu Skim Sewa Untuk Beli kepada penyewa asal projek perumahan rakyat (PPR) yang ditawarkan oleh kerajaan pada 2018 masih tertangguh. Rakyat yang menetap di PPR telah menyuarakan berulang kali berhubung isu ini dan masih menunggu pelaksanaan Skim Sewa Untuk Beli berkenaan.
Untuk makluman, di Daerah Sandakan termasuk Libaran terdapat sembilan buah PPR di mana penyewa telah menetap 10 tahun hingga 20 tahun di lapan buah PPR. Satu lagi iaitu PPR Batu Putih masih belum dihuni walaupun telah siap lebih empat tahun lepas.
Penghuni PPR amat mengharapkan kerajaan dapat melaksanakan Skim Sewa Untuk Beli.
Saya mencadangkan agar Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan dapat merealisasikan impian rakyat B40 dan memastikan mereka ini memiliki kediaman sendiri.
Cadangan Perdana Menteri bagi pembangunan dan menaik taraf infrastruktur serta fasiliti penjaja adalah amat disokong oleh semua pihak. Saya turut mencadangkan agar kerajaan melalui Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara agar mewujudkan lebih banyak kemudahan infrastruktur atau gerai perniagaan dengan kadar sewa rendah kepada penjaja dan peniaga kecil dalam usaha membantu golongan ini menikmati kemudahan perniagaan lebih baik dengan suasana kondusif.
Tuan Yang di-Pertua, isu penghijrahan belia di negeri Sabah ke Kuala Lumpur dan bandar-bandar utama di Semenanjung Malaysia telah berlaku sekian lama. Saya meminta kerajaan melalui Kementerian Belia dan Sukan dan Kementerian Sumber Manusia agar mengambil inisiatif dan memainkan peranan dalam menyediakan peluang- peluang pekerjaan bagi mengelakkan kadar migrasi yang tinggi dalam kalangan belia ke bandar. Penyediaan persekitaran yang sesuai seperti mewujudkan peluang pekerjaan dan perniagaan kepada golongan itu antara peranan yang perlu dilaksanakan segera oleh pihak kerajaan sekali gus mampu mengurangkan kebergantungan tenaga kerja asing.
Tuan Yang di-Pertua, saya menggesa kerajaan melalui Kementerian Kewangan bagi mewujudkan cawangan Bank Simpanan Nasional dan Agrobank di tiga buah pekan baru iaitu Pekan Baru Ulu Dusun, Pekan Baru Gum Gum dan juga Pekan Muhibbah.
Kemudahan ini amat diperlukan oleh penduduk di persekitaran tiga buah pekan baharu ini. Buat masa ini penduduk terpaksa berurusan ke bank di bandar Sandakan dan yang dekat ialah pekan Beluran dan juga pekan Kota Kinabatangan dengan jarak ulang-alik pekan ini antara 40 kilometer hingga 70 kilometer dari kawasan kediaman mereka.
Saya juga mencadangkan seperti mana Yang Berhormat Maran cadangkan, pusat kesihatan sekarang ini perlu, bukan sahaja di Parlimen tempat yang ada di seluruh Malaysia ini tetapi di Libaran juga memerlukan pusat kesihatan yang sistematik. Ini kerana, untuk makluman Tuan Yang di-Pertua, Sandakan ini ada tiga buah parlimen yang terdekat, Batu Sapi, Sandakan dan Libaran tetapi, hanya memperoleh satu buah hospital sahaja. Penduduk di Sandakan ini lebih kurang 500,000 orang tetapi hanya ada satu buah hospital.
Datuk Suhaimi bin Nasir - Libaran
Maka itu Tuan Yang di-Pertua, saya mencadangkan kepada Kementerian Kesihatan agar mewujudkan satu buah pusat kesihatan yang lengkap dengan Unit Kecemasan, Klinik Pergigian dan Wad Bersalin di Pekan Baru Ulu Dusun atau pun di Pekan Muhibbah dibina satu hospital yang boleh mencukupi kerana persekitaran perkampungan ini hampir mencecah 10,000 orang penduduk sekitar kawasan bagi mendapat perkhidmatan kesihatan yang baik.
Tuan Yang di-Pertua, saya juga mencadangkan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan perlu mengambil inisiatif membina tukun tiruan di Teluk Sandakan dan perairan Parlimen Libaran seperti Pulau Nunuyan, Pulau Libaran, Gubin Rock dan Kuala Gum Gum dalam meningkatkan populasi hidupan marin selama menjana pendapatan nelayan tempatan.
Saya juga mengusulkan dan mencadangkan kepada Dewan Tuan Yang di- Pertua, Batalion 15 Pasukan Gerak Am (PGA) Sandakan ditubuhkan pada tahun 1992.
Sejak pasukan ini ditubuhkan, Batalion ke-15 ini masih menyewa rumah kedai bagi menempatkan ibu pejabat mereka. Saya mencadangkan kepada Kementerian Dalam Negeri supaya membina sebuah kem baru untuk batalion terbabit. Tapak bagi pembinaan kem ini telah pun tersedia dengan keluasan 100 ekar terletak bersebelahan di sebelah Pangsapuri Batalion tersebut di Jalan Sungai Batang Batu 10, Sandakan.
Saya juga mencadangkan Projek Pembinaan Jalan Persisiran Tinusa melibatkan pembinaan dan menaik taraf jalan sepanjang 15.28 kilometer dari Kampung Batu Putih ke Bandar Letat, Sandakan. Projek ini turut melibatkan pembinaan sebuah jambatan.
Kementerian Kerja Raya perlu mengambil perhatian cadangan ini untuk dilaksanakan.
Kita juga mengharapkan dengan adanya jalan terbabit mampu mengekalkan kesalinghubungan di Sandakan dan mengurangkan kesesakan sepanjang Jalan Utara dan Jalan Lintas Utara, Jalan Buli Sim Sim menuju ke pusat bandar.
Tuan Yang di-Pertua, saya juga mengambil kesempatan dalam perbahasan ini kalau boleh ingin menyentuh isu pemindahan tapak pembinaan Sekolah Seni Malaysia Sabah. Ini kerana sekolah ini telah ditubuhkan pada tahun 2016, masih menumpang di Sekolah Menengah Kebangsaan Elopura, Sandakan dan kini menempatkan hampir 200 orang pelajar. Cadangan asal pembinaan sekolah ini diletakkan di Hab Pendidikan Sandakan dengan keluasan 40 ekar.
Akan tetapi, ekoran campur tangan politik dan pergantian dan peralihan Ketua Menteri, cadangan pembinaan sekolah ini hendaklah dipindah ke Tuaran dan di tanah paya. Saya difahamkan penimbusan tanah paya itu menelan perbelanjaan RM40 juta. Ini adalah tidak wajar kerana berlaku peningkatan kos selepas dicadangkan pembinaan ini dipindah ke Tuaran. Saya meminta Kementerian Pendidikan melihat balik cadangan pembinaan tapak ini untuk mengekalkan pembinaannya di Hab Pendidikan Sandakan seperti cadangan asal.
Datuk Suhaimi bin Nasir - Libaran
Tuan Yang di-Pertua, seperkara lagi saya juga ingin menyuarakan isu penerbangan, kos penerbangan Sandakan ke Kuala Lumpur, Kuala Lumpur ke Sandakan, Sandakan ke Kota Kinabalu yang pada ketika ini melonjak naik sehingga ada sebahagian terutamanya pelajar-pelajar yang ingin pulang, balik ke kampung tidak mampu membeli tiket penerbangan kerana kos kelas ekonomi sahaja sudah mencecah RM1,300.
Jangankan bilang pelajar, saya sendiri pun sebagai Ahli Parlimen tidak mampu untuk duduk di kelas ekonomi dengan kos tambang RM1,300.
Apabila sampai kepada suatu perayaan, ini juga akan menjadi satu isu yang cukup besar kerana sekejap lagi kita akan masuk bulan Ramadan, sampai ke Hari Raya.
Jadi sekarang ini sudah mula menempah tiket tetapi kos penerbangan- dan minta melihat kepada Kementerian Pengangkutan untuk berunding atau berbincang dengan pihak-pihak tertentu sama ada Malaysia Airlines ataupun AirAsia ataupun syarikat-syarikat penerbangan lain untuk mengurangkan kos perbelanjaan tambang pergi balik Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu dan Kuala Lumpur ke Sandakan.
Datuk Suhaimi bin Nasir - Libaran
Tuan Yang di-Pertua, sebelum mengakhiri perbahasan ini, saya berharap Belanjawan 2023 yang bertemakan Membangun Malaysia Madani ini dapat dinatijahkan demi kepentingan rakyat di negara ini.
Jika berjalan ke Pulau Libaran, Singgah membeli buah bidara; Saya menyokong Rang Undang-undang Belanjawan, Demi kesejahteraan rakyat seluruhnya. Terima kasih. Saya mohon menyokong...
[Tepuk]
Timbalan Yang di-Pertua - Dato' Ramli bin Dato' Mohd Nor
Terima kasih Yang Berhormat Libaran. Dipersilakan Yang Berhormat Hulu Selangor.
Tuan Haji Mohd Hasnizan bin Harun - Hulu Selangor
Bismillahi Rahmani Rahim Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua memberi ruang kepada saya membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2023, belanjawan yang telah dibentangkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri.
Tuan Yang di-Pertua, perkara pertama yang ingin saya sentuh adalah tentang Jabatan Bomba dan Penyelamat. Jabatan ini adalah antara jabatan yang terpenting dalam memastikan aspek keselamatan awam dan harta benda apabila berlakunya kebakaran.
Mencegah dan memadamkan kebakaran serta menyediakan khidmat pelbagai kepada masyarakat termasuk melindungi nyawa manusia dan juga harta benda daripada sebarang bencana. Mereka juga diberikan tugas menyiasat punca-punca kebakaran, memeriksa keadaan kilang-kilang industri dan memastikan syarikat-syarikat mematuhi piawaian yang telah ditetapkan untuk keselamatan pekerja dan bangunan itu sendiri.
Mereka- semua bersedia berkhidmat untuk masyarakat. Kejadian baru-baru ini tanah runtuh di Batang Kali yang mana ramai yang menyentuh dan menyebut berkaitan dengan Batang Kali, terima kasih. Saya Ahli Parlimen Hulu Selangor yang mana Batang Kali berada di Hulu Selangor. Mereka berkampung di situ sehinggakan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Datuk Norazam Khamis dimasukkan di Hospital Selayang mengalami keletihan dan minor stroke.
Saya ingin mengambil kesempatan di sini mengucapkan terima kasih banyak- banyak kepada semua agensi bukan sahaja bomba tetapi juga Angkatan Tentera Malaysia, polis, Jabatan Pertahanan Awam, Majlis Perbandaran Hulu Selangor, Jabatan Kerja Raya, Jabatan Pengairan dan Saliran, SMART, Kementerian Kesihatan Malaysia, geologist Malaysia serta NGO-NGO seperti Jabatan Amal Malaysia dan semua agensi- agensi terlibat yang saya tidak nyatakan di sini.
Terima kasih juga kepada Kerajaan Negeri Selangor di bawah kepimpinan Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Amirudin bin Shari kerana menyegerakan perbincangan pembukaan laluan sementara buat pekerja-pekerja yang bekerja di Genting Highlands.
Sekiranya dilibatkan saya sekali dalam perbincangan itu alangkah moleknya.
Tuan Yang di-Pertua, saya juga agak terkilan sebenarnya, apabila pada hari kedua kejadian, saya selaku Ahli Parlimen yang mewakili rakyat Hulu Selangor tidak dibenarkan masuk ke kawasan bila operasi. Saya perlu maklumat yang tepat. Apa pun saya akur dengan keputusan pengarah operasi ketika itu, dan saya difahamkan selepas ini, bahawa setiap bencana yang berlaku di tempat masing-masing, Ahli Parlimen akan dilibatkan sekali. Ini yang dimaklumkan baru-baru ini.
Tuan Yang di-Pertua, saya juga mohon untuk kerajaan melihat keperluan membina balai-balai bomba di kawasan-kawasan yang jauh dari balai bomba yang sedia ada dan juga kawasan-kawasan yang mempunyai kepadatan penduduk untuk balai bomba yang sedia ada untuk dinaik taraf.
Tuan Yang di-Pertua, saya ingin mengambil contoh Gugusan FELDA di Selangor.
Selangor mempunyai empat buah FELDA iaitu Sungai Tengi Selatan, Desa Maju Sungai
Tuan Haji Mohd Hasnizan bin Harun - Hulu Selangor
Tengi, Seoharto dan juga Gedangsa. Ia satu buah laluan bermula di Sungai Tengi Selatan sehingga ke Gedangsa. Jaraknya lebih kurang 26 kilometer di antara Sungai Tengi Selatan ke Gedangsa dengan 30 minit perjalanan.
Tidak ada satu Balai Bomba pun di situ, dan sekiranya berlaku kebakaran rumah, tidak boleh diselamatkan dan dikhuatiri akan terkena rumah yang lain. Ini telah pun terjadi setelah beberapa kali berlaku kebakaran di kawasan FELDA tidak berjaya diselamatkan sebab memang jaraknya terlalu jauh dari penempatan. Kawasan yang ada balai bomba iaitu di Tanjung Malim, Kuala Kubu Bharu dan juga Bukit Beruntung, semuanya jauh.
Mohon lagi sekali untuk melihat perkara ini. Saya menyentuh di seluruh Malaysia terutamanya di kawasan Gugusan FELDA. Kebanyakan rumah di FELDA merupakan rumah binaan daripada kayu yang sekiranya berlaku kebakaran, kebakaran berlaku dengan lebih cepat.
Tuan Yang di-Pertua, baru-baru ini Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah pun mengumumkan kenaikan elaun pasukan bomba sukarela
(PBS) daripada RM1,500 ke RM3,000. Terima kasih dan tahniah. Namun, mohon juga kementerian melihat juga beban dan risiko yang terpaksa dihadapi oleh pegawai bomba ketika mana mereka bertugas.
Sukalah saya mencadangkan agar gaji atau elaun ahli bomba juga dinaikkan seperti mana elaun yang dinaikkan kepada Pasukan Bomba Sukarela. Gaji asas sebagai Bomba seketika ini KB19 sekarang ini hanya bermula RM1,360 tidak termasuk elaun.
Tidak lupa juga mohon kerajaan menaikkan juga gaji atau elaun yang diterima oleh pihak Keselamatan Negara, Polis Diraja Malaysia dan juga Angkatan Tentera Malaysia dan juga seluruh kakitangan awam yang sepatutnya berhak untuk mereka menerimanya.
Tuan Yang di-Pertua, perkara kedua yang saya ingin sentuh adalah berkait dengan isu pemilikan strata terutama di kawasan serumah yang bertingkat dan isu bangunan yang retak di bangunan rumah yang bertingkat dan mungkin tidak ramai yang membawa isu ini. Pada hari ini saya membawa isu perkara ini berkaitan dengan pemilikan rumah strata yang melibatkan bukan dua puluh, bukan ratus, bukan ribu, ratus ribu mungkin yang melibatkan seluruh Malaysia.
Tuan Yang di-Pertua, isu pemilikan hak milik strata merupakan satu isu yang sudah lama dibincangkan. Ia melibatkan berpuluh ribu atau mungkin juga beratus ribu buah unit rumah. Ada rumah yang telah diduduki melebihi 30 tahun tetapi isu pemilikan hak milik strata ini masih tidak berjaya diselesaikan. Masalah ini telah mula berlaku dari tahun 1985 lagi. Ketika itu rumah bertingkat mula tumbuh seperti cendawan.
Tuan Yang di-Pertua, persoalannya siapa yang ambil peduli berkaitan isu pemilikan serata ini? Terutama pemilik-pemilik bagi rumah yang bertingkat. Siapakah yang ambil peduli apabila berlaku keretakan yang serius sehinggakan ada bangunan tidak boleh diduduki dan siapa yang ambil peduli masalah cerun di dalam kawasan pemajuan strata?
Isu hak milik serata, walaupun dalam Kanun Tanah Negara menyatakan, “land estate matter” dengan izin, iaitu melibatkan kerajaan negeri tetapi di peringkat Persekutuan ada Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan (JKPTG). Apa pun saya ingin mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada Bahagian Pesuruhjaya Bangunan (COB) khususnya di Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) yang sentiasa bersama dengan rumah-rumah bertingkat menerusi joint management body (JMB).
Saya yakin seluruh COB yang terlibat dengan bangunan di seluruh tempat telah pun menjalankan amanah yang baik tetapi mereka juga ada tempat yang mereka boleh lakukan kerja mereka dan ada yang mereka tidak mampu untuk meneruskan, mereka banyak membantu rumah-rumah pangsa yang bertingkat ini.
Tuan Haji Mohd Hasnizan bin Harun - Hulu Selangor
Namun kuasa COB terhad, ia boleh membantu meningkat kepada keupayaan dan kemampuan sahaja. Tuan Yang di-Pertua, terlalu banyak pemaju yang masih belum menunaikan tanggungjawab, pengeluaran hak milik strata, banyak syarikat yang telah
Tuan Haji Mohd Hasnizan bin Harun - Hulu Selangor
“gulung tikar” dan diganti dengan pemaju lain dan akhirnya yang menjadi mangsa adalah pemilik-pemilik rumah.
Dari segi sudut lain, Akta Pengurusan Strata 2013 berkuat kuasa 1 Jun 2015 mewajibkan penubuhan JMB tetapi kuasa JMB hanya meluluskan bangunan dan kuasa apartmen mereka sahaja. Apabila melibatkan isu-isu besar yang melibatkan bangunan, sudah pasti ia perlu dibantu oleh kerajaan negeri ataupun Kerajaan Persekutuan sebab kosnya melibatkan ratusan ribu dan mungkin jutaan ringgit. Dana JMB hanya untuk menguruskan bangunan dan kerja-kerja pengurusan sahaja.
Tuan Yang di-Pertua, kenapa hak milik strata penting kepada pemilik rumah? Ini kerana ia berfungsi sebagai bukti pemilikan hak, mereka yang duduk di apartmen ini, mereka tidak memiliki hak. Itu yang kenapa perkara ini perlu diambil serius oleh Kerajaan Pusat. Kena bantu kerajaan negeri, perlu bantu untuk pemilik-pemilik rumah ini yang beratus ribu orang untuk dibantu. Oleh sebab tiada bukti pemilikan dan ia digunakan sebagai cagaran kepada bank untuk pinjaman dan ia juga memudahkan urusan jual beri rumah. Sekiranya ia tidak ada, ia menyulitkan dan menyusahkan.
Sama seperti mana rumah kita yang landed, dengan izin. Sama sahaja. Jadi, rumah pangsa ini juga memerlukan perhatian, tolong bantu kebanyakan mereka yang menduduki rumah pangsa ini adalah B40 dan juga M40. Sepatutnya perkara ini perlu dilihat, perlu dikaji dan perlu dibantu untuk selesaikan masalah yang telah lama berlaku.
Tuan Yang di-Pertua, saya kena ringkaskan kerana masa saya ini. Tuan Yang di- Pertua, saya mengambil contoh di Parlimen saya sendiri di Hulu Selangor. Kawasan yang tiada hak milik, tiada hak milik strata ada 40 kawasan, di Hulu Selangor sahaja ini, dengan jumlah 19,764 petak atau unit rumah. Ini baru di Hulu Selangor. Agak-agak berapa banyak rumah yang tidak berjaya diselesaikan di seluruh Malaysia ini?
Tuan Yang di-Pertua, di tempat saya ada enam kawasan pemajuan strata yang telah dikeluarkan laporan forensik dan didapati salah satu blok tidak selamat diduduki dan lima kawasan pemajuan lain yang perlu dibuat pembaikan dan pemulihan secara major berdasarkan laporan forensik yang telah dikeluarkan oleh syarikat KI Integrated Consultants Sdn Bhd. Saya mohon sangat-sangat Kerajaan Persekutuan membantu menyelesaikan masalah yang serius ini dengan kadar segera. Jangan sekadar habis di sini sahaja.
Tuan Yang di-Pertua, di sini saya mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan tahniah buat Apartmen Anggerik, Taman Bunga Raya, Bukit Beruntung, Selangor kerana pada hari ini telah merangkul tempat pertama Anugerah Pengurusan Penyelenggaraan dan Kewangan Terbaik anjuran Majlis Perbandaran Hulu Selangor.
Tuan Yang di-Pertua, saya ingin menyentuh sedikit berkaitan dengan KWSP.
Saya ini golongan M40 sebelum ini dan saya dapat merasakan bagaimana keperitan, kepayahan, bukan sahaja B40 malah M40. Akan tetapi, saya ingin melihat dan saya merayu kepada Menteri ataupun kerajaan untuk memikirkan kembali, untuk mengeluarkan, mengizinkan pengeluaran KWSP secara bersasar, bukan kepada semua.
Apabila bersasar ini, ada keperluan-keperluan yang diperlukan terutama M40 yang telah berumur 40 tahun ke atas. Tuan Yang di-Pertua, saya minta izin sedikit sahaja masa lagi Tuan Yang di-Pertua. Terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua, saya ingin mengambil kesempatan di sini, mohon sangat- sangat agar Kementerian Kerja Raya dapat meluluskan– ini tempat saya sendiri, dengan segera permohonan peruntukan yang telah dipohon oleh Jabatan Kerja Raya Hulu Selangor untuk membaik pulih di kawasan saya di Parlimen Hulu Selangor. Kawasan saya Parlimen Hulu Selangor yang seluas negeri Melaka ini mohon diambil perhatian oleh kementerian.
Tuan Yang di-Pertua, saya juga ingin mengucapkan Selamat Menyambut Hari Tentera Darat yang ke-90 buat semua warga Tentera Darat sama ada yang masih berkhidmat mahupun yang telah bersara.
[Tepuk] Saya juga menyokong apa juga kebaikan yang dibawa oleh MP-MP semasa perbahasan, terutamanya Yang Berhormat Ketereh.
[Tepuk] Sekian perbahasan saya dalam belanjawan kali ini, terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Terima kasih Yang Berhormat Hulu Selangor. Dipersilakan Yang Berhormat Kampar.
Tuan Chong Zhemin - Kampar
Terima kasih kepada Tuan Yang di-Pertua kerana memberikan peluang kepada saya untuk mengambil bahagian dalam perbahasan Bajet 2023. Salam Malaysia Madani. Pertama sekali saya ingin mengucapkan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Tambun kerana telah membentangkan satu bajet yang reformis, progresif dan inklusif.
Tuan Yang di-Pertua, money doesn’t grow on trees. Pembangkang boleh lantang berhujah mengatakan ini kena kurangkan cukai, itu kena kurangkan cukai, lebih banyak peruntukan yang perlu diberi tetapi hakikatnya pembangkang tidak mampu untuk mengeluarkan bajet alternatif mereka. Jadi, terbukti hujah-hujah mereka hanya kata-kata kosong yang tidak mampu ditunaikan.
Bajet 2023 telah mampu menyeimbangkan buku kerajaan tanpa memperkenalkan cukai GST dan pada masa yang sama telah membentangkan satu bajet yang paling tinggi dalam sejarah dengan RM388.1 bilion dengan satu bajet Robin Hood dengan menaikkan cukai untuk golongan pendapatan T20 dan mengurangkan cukai M40 dan B40 pada masa yang sama. Satu bajet yang reformis dengan penekanan untuk membendung rasuah dan membuat tender terbuka untuk mengurangkan ketirisan dan kebocoran.
Untuk makluman Dewan, dalam Bajet 2023, perkataan ‘reformasi’ telah diulangi sebanyak 13 kali, perkataan ‘pembaharuan’ telah diulangi 15 kali, perkataan ‘rasuah’ 13 kali dan ‘ketirisan’ 17 kali. Ini membuktikan penekanan Bajet 2023 ke atas antirasuah dan antiketirisan serta bajet yang bersifat reformis dan pembaharuan.
Tuan Yang di-Pertua, seterusnya saya hendak beralih kepada dua isu kawasan.
Isu yang pertama, Hospital Kampar. Hospital Kampar yang sedia ada dibina pada tahun 1949 di atas Bukit Kampar yang telah berusia selama 74 tahun dan terdapat dua buah bangunan yang telah diisytiharkan tidak selamat oleh JKR kerana terdapat pergerakan tanah dan kini terpaksa dikosongkan.
Satu bangunan dahulunya wad kecemasan, satu bangunan dahulunya wad farmasi. Kedua-dua bangunan ini telah dikosongkan kerana ada pergerakan tanah. Oleh itu, tidak ada pertikaian bahawa terdapat keperluan yang mendesak untuk membina Hospital Kampar yang baharu untuk menggantikan Hospital Kampar yang sedia ada.
Pada tahun 2012, sudah lebih dari 10 tahun, pada masa itu Menteri Kesihatan Liow Tiong Lai bersama Exco Kesihatan pada masa itu Mah Hang Soon telah mengumumkan bahawa peruntukan sebanyak RM150 juta untuk membina hospital baharu Kampar. Namun, pada tahun 2016, kerajaan pada masa itu telah membatalkan projek hospital baharu Kampar dengan alasan akan mengadakan usaha sama dengan Hospital Kampar.
Mujur, selepas Pakatan Harapan mengambil alih pada tahun 2018, saya telah mengutus surat kepada Kementerian Kewangan untuk memohon peruntukan untuk membina Hospital Kampar. Pada masa itu, saya telah dimaklumkan bahawa tapak hospital baharu Kampar pada masa itu tidak sesuai kerana tapak tersebut merupakan bekas tapak lombong. Dengan bantuan Pejabat Daerah dan Tanah, Kampar, saya telah mengenal pasti tiga bidang tanah yang sesuai untuk membina tapak hospital baharu dan akhirnya lokasi dimuktamadkan di Kampung Changkat Baru yang seluas 60 ekar tanah dan ini telah diluluskan pihak Kerajaan Negeri Perak.
Kerajaan Pakatan Harapan Persekutuan juga telah membentang dalam Bajet 2020 sebanyak RM416 juta untuk membina Hospital Kampar baharu dan klinik-klinik.
Namun, Hospital Kampar sekali lagi dibatalkan oleh Kerajaan Perikatan Nasional pada tahun 2020. Oleh kerana peruntukan dan juga tanah telah pun diluluskan dan terdapat keperluan yang mendesak untuk membina hospital baharu di Kampar, saya memohon supaya pentadbiran baharu Kerajaan Perpaduan boleh menimbang semula untuk
Tuan Chong Zhemin - Kampar
pembinaan hospital baharu Kampar demi kebajikan dan kesihatan warga Kampar dan penduduk di sekitar.
Isu kedua yang saya ingin bangkit adalah tentang kesesakan PLUS di kawasan Perak terutamanya dari kawasan Tapah sehingga Utara Ipoh, Terowong Menora. Setiap kali apabila kita balik kawasan, sampai sahaja kawasan Tapah, Gua Tempurung, mesti sesak dan itu juga merupakan kawasan berbahaya.
Tuan Chong Zhemin - Kampar
Menteri Besar Perak, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Saarani pada 16 Mei 2022 telah menyatakan bahawa Kerajaan Negeri Perak telah bersetuju dengan cadangan untuk membina laluan alternatif ataupun West Ipoh Span Expressway (WISE) yang akan susur dari Gopeng ke Kuala Kangsar supaya pengguna boleh menggunakan Lebuhraya Utara- Selatan tanpa melalui Terowong Menora. Saya menyambut baik inisiatif ini kerana setelah sekian 30 tahun akhirnya kita ada satu- laluan alternatif, tidak perlu melalui bukit-bukit dan melalui Terowong Menora. Ini kerana itu merupakan kawasan yang amat bahaya.
Yang Amat Berhormat Dato’ Seri juga menyatakan bahawa projek tersebut akan dibina di bawah inisiatif pembiayaan swasta (PFI) tanpa menggunakan dana kerajaan.
Walaupun pembinaan WISE akan ditanggung di bawah PFI, ia juga akan menjadikan beban kepada rakyat. Mungkin bukan pada masa pembinaan tetapi pada masa akan datang kerana pihak swasta yang membina projek WISE tentu akan menggunakan tol sebagai sumber penanggungan kos pembinaan. Oleh itu, secara tidak langsung rakyat akan membayar untuk pembinaan tersebut walaupun dana awam tidak digunakan.
Oleh yang demikian, saya cadangkan supaya Kerajaan Persekutuan campur tangan dalam pembinaan WISE ini supaya proses tender terbuka diguna pakai; supaya WISE dapat dijalankan dengan kos yang lebih munasabah supaya tidak menimbulkan beban yang berat terhadap pengguna pada masa depan. Saya memahami rancangan WISE dari susur keluar Gopeng melalui Batu Gajah sebelum keluar di Kuala Kangsar adalah untuk mengurangkan kemalangan dan kesesakan trafik di Terowong Menora.
Akan tetapi ini hanya dapat menyelesaikan separuh masalah sahaja. Kalau dari Gopeng pergi ke Batu Gajah masuk Kuala Kangsar, ia hanya dapat elak kawasan Menora Tunnel. Akan tetapi kawasan di Tapah, di kawasan Gua Tempurung tidak selesai.
Lebuhraya Utara-Selatan antara Gopeng dan Tapah berdekatan Gua Tempurung juga merupakan kawasan kemalangan yang berbahaya. Selain itu, laluan WISE dari Kuala Kangsar ke Gopeng adalah lebih panjang daripada laluan asal lebuh raya. Oleh itu rancangan semasa WISE adalah kurang munasabah.
Saya mencadangkan bahawa laluan WISE dipanjangkan ke Kampar dan keluar di Tapah dan bukan tamat di Gopeng. Laluan Kuala Kangsar-Batu Gajah-Kampar-Tapah dapat mengelak dan mengurang risiko kemalangan di dua buah lokasi. Pertama, di Terowong Menora dan kedua di Gua Tempurung. Lebih lagi laluan tersebut dapat merangsang ekonomi di bandar-bandar yang berada di Daerah Kampar dan Tapah terutama dalam sektor pelancongan.
Lagipun, kalau laluan dipanjangkan ke Kampar-Tapah, jarak perjalanan tersebut merupakan laluan yang lebih pendek daripada jalan asal di Lebuhraya Utara-Selatan.
Oleh itu pemanjangan tersebut merupakan pilihan yang lebih munasabah untuk Projek WISE. Jadi, saya harap Kerajaan Persekutuan boleh melihat semula isu ini.
Seterusnya, saya ingin beralih kepada isu Pharmaniaga. Baru-baru ini Pharmaniaga membuat pengumuman di Bursa Malaysia bahawa syarikat itu tersenarai di bawah PN17. Persoalannya, bagaimanakah Pharmaniaga yang boleh buat business vaksin yang begitu lumayan boleh diuruskan sehingga kini di ambang bankrap? Ini merupakan salah satu salah urus GLC yang amat serius. Bagaimanakah Pharmaniaga boleh membeli vaksin yang bertimbun-timbun sehingga kini tidak diguna pakai dan mengakibatkan Pharmaniaga mengalami kerugian besar sehingga RM664 juta pada suku keempat tahun lalu?
Malaysia mempunyai 32 juta orang penduduk, dan jika setiap rakyat di bagi tiga- dos, vaksin keseluruhan yang diperlukan tidak akan melebihi RM96 juta. Ini matematik
Tuan Chong Zhemin - Kampar
yang simple, senang. Saya percaya pihak kerajaan mempunyai statistik yang cukup untuk menempah vaksin yang mencukupi untuk rakyat. Akan tetapi adakah pihak tertentu mengarahkan Pharmaniaga untuk membeli vaksin yang bertimbun-timbun melebihi apa yang diperlukan untuk pihak tertentu beri sedekah semasa pilihan raya. Saya menyeru supaya pihak berkuasa jalankan siasatan yang terperinci ke atas perolehan vaksin yang berlebihan ini dan mengambil tindakan tegas ke atas mereka yang bertanggungjawab.
Tuan Yang di-Pertua, seterusnya saya ingin menarik perhatian Dewan kepada kenyataan yang dibuat oleh Yang Berhormat Marang yang memberi amaran bahawa Malaysia boleh dikawal oleh orang bukan Islam kerana orang Melayu mempunyai kesedaran politik yang rendah.
Yang Berhormat Marang juga sekali lagi mengulangi statistik yang palsu dan juga membohong bahawa peratusan keluar mengundi pengundi Islam sebanyak 68 peratus dan peratusan keluar mengundi pengundi bukan Islam 98 peratus. Ini adalah palsu. Ini adalah tidak betul dan satu pembohongan untuk mengapi-apikan sentimen perkauman.
Menurut penyelidik Bridget Welsh, peratusan keluar kaum Melayu adalah yang tertinggi antara semua kaum- 79 peratus. Ini membuktikan Yang Berhormat Marang dengan terang-terang membohong untuk memainkan sentimen perkauman. Yang Berhormat Marang juga membohong dengan terbuka apabila beliau mengatakan Melayu akan dikawal oleh bukan Melayu.
Dalam 148 orang Ahli Parlimen dalam Kerajaan Perpaduan, lebih daripada separuh terdiri daripada Ahli Parlimen Islam, ataupun 77 orang Islam dan bukan Islam 71 orang.
Mengikut peratusan Bumiputera, 63 peratus terdiri daripada Ahli Parlimen bumiputera, dan 27 peratus bukan bumiputera.
Yang Berhormat Marang juga meramalkan Kerajaan Perpaduan akan tumbang tidak lama lagi, dan ini terbuka bercanggah dengan hasrat Yang di-Pertuan Agong dengan mengabaikan hasrat Yang di-Pertuan Agong yang mana baginda mengatakan, “Tidak perlu nak melantik seorang lagi Perdana Menteri sebelum tamat penggal pemerintahan lima tahun Baginda pada Januari hadapan...”.
Tuan Haji Mohd Hasnizan bin Harun - Hulu Selangor
Jangan mengarutlah.
Tuan Chong Zhemin - Kampar
...Ini bukan sahaja menunjukkan Yang Berhormat Marang dengan terbuka mengingkari hasrat Yang di-Pertuan Agong dengan menderhaka ke atas titah Yang di-Pertuan Agong, ia juga menunjukkan...
Tuan Zulkifli bin Ismail - Jasin
Awak sudah mengarut.
Tuan Chong Zhemin - Kampar
Sikap pembangkang yang tidak berhasrat dan tidak bersungguh-sungguh untuk memainkan peranan pembangkang secara check and balance, dan hanya mahu mengambil jalan pintas untuk menumbangkan Kerajaan Perpaduan dari pintu belakang.
Seterusnya, saya mahu bangkit sedikit tentang ucapan Yang Berhormat Ayer Hitam dua hari yang lalu tentang tax relief dan tax rebate. Yang Berhormat Ayer Hitam bangkit bahawa tax relief, dia cakap tax rebate lah. Itu salah. Dia cakap tax rebate RM9,000 personal tax rebate itu mahu tingkatkan kepada RM12,000. Sebenarnya tax rebate dengan tax relief itu tidak sama. Tax rebate itu tax yang kurangkan cukai tapi yang RM9,000 itu tax relief. Personal tax relief...
Tuan Zulkifli bin Ismail - Jasin
Tuan Yang di-Pertua.
Tuan Chong Zhemin - Kampar
Kalau hendak kurang.
Tuan Zulkifli bin Ismail - Jasin
Point of order. Point of order muka surat 51- perkara 36(6). “Seseorang Ahli tidak boleh mengeluarkan sangkaan jahat ke atas sesiapa Ahli-ahli yang lain.” Jadi saya minta supaya kenyataan yang jahat ini ditarik balik.
Tuan Chong Zhemin - Kampar
Mana, manakah kenyataan jahat? Itu apa yang diulangi oleh Yang Berhormat Marang. Mana, manakah kenyataan jahat?
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Bahagian mana Yang Berhormat? Yang Berhormat Kampar duduk.
Tuan Zulkifli bin Ismail - Jasin
Sebut, “Yang Berhormat Marang”, beberapa kali mengatakan Yang Berhormat Marang berbohong.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Yang Berhormat, bila sebut sedemikian bahagian mana. Kalau kata Yang Berhormat Kampar telah menyatakan sedemikian iaitu menyatakan yang bahagian mana...
Tuan Zulkifli bin Ismail - Jasin
Ya.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Ramli bin Dato’ Mohd Nor
...Itu yang paling mustahak.
Tuan Zulkifli bin Ismail - Jasin
Ya.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Kalau Yang Berhormat cakap macam ini, saya tidak boleh buat keputusan.
Tuan Zulkifli bin Ismail - Jasin
Ya.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Sebut yang mana satu.
Tuan Zulkifli bin Ismail - Jasin
Beliau mengatakan tadi bahawa Yang Berhormat Marang berbohong di dalam mengambil statistik dan beliau membawa statistik daripada pihak beliau. Dengan statistik daripada pihak beliau, beliau membina sangkaan yang jahat terhadap Yang Berhormat Marang.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Ya, begitulah Yang Berhormat...
[Tepuk]
Tuan Chong Zhemin - Kampar
Okey. Kalau Yang Berhormat Marang beri statistik...
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Sebentar Yang Berhormat Kampar. Saya pun mahu menjelaskan kepada yang lain-lain. Ramai yang baharu. Bila membangkitkan sesuatu peraturan....
Tuan Zulkifli bin Ismail - Jasin
Ya, saya.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Lain kali di sebelah pihak sini pun atau di sana, nyatakan bahagian sedemikian. Fasal apa yang kita bercakap ini semua akan direkodkan. Akan dilihat dan kemudian akan didengar...
Tuan Zulkifli bin Ismail - Jasin
Ya.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Ramli bin Dato’ Mohd Nor
...Jadi, bahagian sebagaimana Yang Berhormat Jasin katakan tadi.
Tuan Zulkifli bin Ismail - Jasin
Ya, saya.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Ramli bin Dato’ Mohd Nor
All right, duduk.
Yang Berhormat Kampar, pertama saya mahu bertanya- adakah benda itu dinyatakan?
Tuan Chong Zhemin - Kampar
Ya, itu yang dinyatakan tetapi itu fakta.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato' Ramli bin Dato' Mohd Nor
Okey. Sebentar, sebentar.
Tuan Chong Zhemin - Kampar
Itu fakta.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato' Ramli bin Dato' Mohd Nor
Fakta-fakta sedemikian Yang Berhormat Kampar peroleh dari mana?
Tuan Chong Zhemin - Kampar
Dari akhbar.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato' Ramli bin Dato' Mohd Nor
Akhbar?
Tuan Chong Zhemin - Kampar
Website. Ya.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato' Ramli bin Dato' Mohd Nor
All right.
Tuan Chong Zhemin - Kampar
Itu dilaporkan bahawa Yang Berhormat Marang kata undi- pengundi Islam, peratusan keluar mengundi 68 peratus, yang bukan Islam 98 peratus. Adakah ia masuk akal?
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Okey.
Tuan Chong Zhemin - Kampar
Sepuluh orang pengundi bukan Islam, 9.8 keluar.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Sebentar, sebentar. Ini sumber yang Yang Berhormat peroleh...?
Tuan Chong Zhemin - Kampar
Betul.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Okey, ini sebagai pengajaran.
Jadi dapatan yang akan datang ini, kita tidak payahlah bertekak-tekak dan sebagainya. Supaya kita angkatkan perkara dan peraturan, sebutkan. Sebagaimana Yang Berhormat Jasin sebut. Saya akan bertanya bagi pihak yang mengeluarkan itu daripada mana sumbernya.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Ramli bin Dato’ Mohd Nor
Okey, saya boleh buat keputusan. Pada peraturan mana?
Dato’ Haji Ahmad bin Saad @ Yahaya - Pokok Sena
Tuan Yang di-Pertua, bukan. Tadi bila disebut daripada sumber kita hendak kena...
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Ramli bin Mohd Nor
Tak, nanti dulu. Yang Berhormat bangun ini adakah berkaitan perkara yang hendak dinyatakan ini? Adakah sedemikian atau isu lain? Isu sama? Okey, saya benarkan. Ini Peraturan 35(1) ya, bila diarahkan oleh Pengerusi, baru bangun, boleh baca 35(1) itu. Silakan Yang Berhormat, apa benda?
Dato’ Haji Ahmad bin Saad @ Yahaya - Pokok Sena
Tuan Yang di-Pertua, saya ingin supaya diperjelaskan, Yang Berhormat Jasin tadi mohon supaya ditarik balik kenyataan ‘Yang Berhormat Marang bohong’. Ini kerana walaupun ada alasan dinyatakan melalui akhbar tetapi sumber itu masih boleh lagi dipertikaikan. Jadi, bila dibawa di sini, kita mengira ini satu sangkaan jahat. Maka, sangkaan jahat mesti dielak daripada dibawa...
Tuan Chong Zhemin - Kampar
Apa sangkaan jahat? Adakah Yang Berhormat Marang tak pernah ulang perkataan itu? Kalau tidak, kita boleh tanya Yang Berhormat Marang...
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Ramli bin Mohd Nor
Baik, Yang Berhormat Kampar, saya akan benarkan- Yang Berhormat Kampar, saya tak benarkan kamu berdiri, 35(1) itu jelas, bagi dia terangkan dulu dan saya akan bagi kepada kamu. Kalau tidak, itu yang masyarakat luar itu kata kita macam ‘zoo’. Okey, selesai Yang Berhormat, selesai?
Okey, Yang Berhormat Kampar, nyatakan.
Tuan Chong Zhemin - Kampar
Ya, itu memang kenyataan yang dibuat oleh Yang Berhormat Marang bahawa statistik keluar pengundi Islam 68 peratus, untuk bukan Islam statistik keluar mengundi 98 peratus. Itu statistik yang salah, maka saya kata Yang Berhormat Marang bohong. Saya rasa itu tak ada masalah, melainkan Yang Berhormat Marang kata dia tak pernah kata saya sebegini.
[Tepuk]
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Ramli bin Mohd Nor
Okey, duduk.
Tuan Chong Zhemin - Kampar
Betulkah tak ada? Saya quote daripada Richard Welsh bahawa pengundi Melayu yang keluar undi paling banyak 79 peratus. Jadi, apa Yang Berhormat Marang katakan itu tidak betul. I stand by my statement.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Ramli bin Mohd Nor
Baik, duduk, duduk, duduk Yang Berhormat. Sekarang ini baru jelas. Kalau tidak, bila ramai sana bangun tak
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Ramli bin Mohd Nor
dijemput oleh Pengerusi, sini bangun tak dijemput Pengerusi, itu yang jadi huru-hara kita dalam ini. Walhal, benda ini senang sahaja, okey. All right. Ini keputusan saya.
Memandangkan Yang Berhormat Jasin telah membangkitkan satu isu yang telah dibahaskan oleh Yang Berhormat dari Kampar, saya menyarankan Yang Berhormat Jasin untuk membuat satu usul secara bertulis, ya.
Jadi, benda itu sampai ke meja Speaker, apa yang berlaku, apa yang dinyatakan boleh diretrieved, dengan izin. Siapa yang akan buat keputusan tersebut, bolehlah membuat keputusan, petua dan sebagainya, ditarik balik kah dan sebagainya. Faham?
Yang Berhormat Jasin pun faham perkara yang hendak diusulkan itu, sila buat cara hitam, putih. Peraturan ada 17, 18, 21, 22 semua ada, boleh dilihat dan usulkan. Speaker boleh buat keputusan, tulis kepada Speaker, selesai perkara ini.
Tuan Zulkifli bin Ismail - Jasin
Okey. Tuan Yang di-Pertua, bolehkah tidak saya meminta supaya beliau menarik balik sekarang juga.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Ramli bin Mohd Nor
Dengar. Saya sudah nyatakan...
Tuan Zulkifli bin Ismail - Jasin
Ya.
Tuan Chong Zhemin - Kampar
Saya sudah jelaskan, Tuan Yang di-Pertua sudah beri arahan...
Tuan Mohd Sany bin Hamzan - Hulu Langat
Yang Berhormat Jasin, Speaker sudah buat keputusan. Yang Berhormat Jasin dengar Speaker lah, dengar Speaker.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Ramli bin Mohd Nor
Ahli yang lain-lain diam, yang lain-lain tolong duduk ya, tolong duduk ya. Jadi, Yang Berhormat Jasin buat usul itu, tulis kepada Speaker, Speaker akan siasat. Pada hari berkenaan menjawab Yang Berhormat Jasin punya keputusan, dia akan buat keputusan suruh tarik balik ataupun membenarkan. Jelas kan, tak kecoh. Baik, duduk.
Tuan Zulkifli bin Ismail - Jasin
Baik, terima kasih.
Tuan Chong Zhemin - Kampar
Tuan Yang di-Pertua, saya mohon masa tambahan sikit, tentang tax relief dan tax rebate.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Ramli bin Mohd Nor
Ya, dua minit.
Tuan Chong Zhemin - Kampar
Saya hendak terangkan tax relief itu...
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Ramli bin Mohd Nor
Yang Berhormat, ini berkaitan perbahasan, Yang Berhormat kan?
Tuan Chong Zhemin - Kampar
Ya, bajet, bajet. Okey, yang tax relief itu ia kena darab dengan kadar cukai, baru dapat cukai yang dapat dikurangkan. Jadi, Yang Berhormat Ayer Hitam hari itu cakap perlu tambahkan RM3,000 daripada RM9,000 ke RM12,000. Akan tetapi apakah penjimatan cukai jika kita tambah RM3,000 tax relief?
Kalau untuk pendapatan yang RM50,000 pada kadar 6 peratus, ia hanya diterjemahkan kepada pengurangan cukai RM180 sahaja. Kepada yang beruntung pendapatan RM70,000 ke atas hanya kadar 11 peratus dan kadar cukai akan dikurangkan sebanyak RM330. Akan tetapi dengan pengurangan kadar cukai 2 peratus yang diumumkan oleh Yang Amat Berhormat Tambun, penjimatan cukai boleh dikurangkan daripada RM300 sehingga RM1,300. Selain itu, saya juga ingin bangkit tentang isu telur. Isu telur itu hari saya hendak bangkit tak cukup masa. Telur ini isu senang, kita ada bekalan, kita ada permintaan.
Kalau bekalan terlalu banyak, harga akan jatuh. Kalau kerajaan tak campur tangan, maka ia akan ada satu equilibrium. Kita tentu akan ada cukup telur. Akan tetapi masalahnya apabila kerajaan campur tangan, kita letakkan satu harga siling, maka akan terdapat satu kekurangan. Jadi, apakah penyelesaiannya?
Satu, kita boleh bagi subsidi tapi subsidi tahun lepas sudah bagi berbilion-bilion ringgit, ada tak kita selesaikan masalah? Tak ada, sebab kalau hendak dapatkan telur
Tuan Chong Zhemin - Kampar
yang banyak, hari ini bagi subsidi, takkan terus telur boleh keluar. Kalau hendak bela seekor ayam, 22 minggu baru boleh bertelur.
Jadi, yang paling cepat, paling mudah, kita import dari luar. Import dari luar ini bukan untuk jangka masa panjang, kita import mungkin untuk 2 bulan, 3 bulan, 6 bulan.
Apabila bekalan telur stabil, kita stop, kita akan menggunakan bekalan telur dalam pasaran Malaysia. Jadi, Yang Amat Berhormat hari itu juga cakap kalau kita import telur dari India, telur itu pecah tak boleh buat mata kerbau, itu saya dengar sendiri. Akan tetapi last, last dia sendiri bawa telur India masuk. Tak pecah pun. Jadi, saya pun kesianlah. Ini telur dari India pecah kah, tak pecah, saya rasa dia sendiri pun tak tau.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Ramli bin Mohd Nor
Yang Berhormat, sila gulung.
Tuan Chong Zhemin - Kampar
Akan tetapi saya hari ini saya hendak menyokong- saya hendak bagi satu sokongan kepada Yang Berhormat Ayer Hitam kerana dia terima dua surat guaman. Hari ini dia naik Facebook lagi dua surat guaman. Jadi, saya hendak minta Tuan Yang di-Pertua, bagaimanakah ucapan dalam Parlimen oleh Yang Berhormat Ayer Hitam boleh dikenakan surat guaman? Bukankah ucapan kita di Parlimen ini kita ada imuniti? Jadi, saya haraplah Tuan Yang di-Pertua boleh bagi satu pencerahan.
Hal yang last, satu lagi...
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Ramli bin Mohd Nor
Sedikit sahaja ya, sedikit sahaja. Bab itu kalau tak silap saya, biar saya lihat. Dalam Perkara 63 Perlembagaan Persekutuan, saya biar saya betulkanlah, takut nanti karang, tersilap karang- Ah! Perkara 63 - keistimewaan Ahli Parlimen. Apa yang dinyatakan sedemikian, kalau ikut tafsiran saya, kita ialah imun tetapi hak rakyat masih dipertimbangkan.
Hal yang akan menentukan ialah cabang ketiga negara, pihak mahkamah, kita biarkan. Proses mahkamah tetap akan berjalan, kalau disaman, menentukan nanti ialah mahkamah sama ada imuniti itu berpihak kepada kita. Akan tetapi saya confident, saya assured daripada apa yang saya baca perundangan ini, kita adalah imun. Akan tetapi dalam ini sahaja ya tapi bila you sebut luar Dewan, dengan izin, subjected to the civil law. Faham? Baik, akhirnya gulung.
Tuan Chong Zhemin - Kampar
Bangkit satu isu last untuk JPJ sebab hari itu saya ada...
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Ramli bin Mohd Nor
Tolong ya, 30 saat Yang Berhormat gulung, saya sudah bagi banyak ruang. Yang Berhormat, setengah minit, kalau tidak, saya tutup. 30 saat.
Tuan Chong Zhemin - Kampar
Sikit sahaja, gulung, gulung. Last, ini isu last. Okey, pada 14 Februari, Menteri Pengangkutan telah– ya last. Menteri Pengangkutan telah mengumumkan satu security feature untuk MyJPJ yang require driving license number for registration. Maka, kalau kita hendak register, hendak daftar untuk MyJPJ, bukan sahaja guna IC, kita kena ada nombor driving license. Jadi, ini telah diumumkan pada 14 Februari tapi Yang Berhormat Ayer Hitam pada hari seterusnya, 15 Februari, bangkit tentang dakwaan ada data leak, semua data telah dibuka di MyJPJ. Saya hendak kata di sini, sebelum MyJPJ di...
[Sistem pembesar suara dimatikan]
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Ramli bin Mohd Nor
Yang Berhormat duduk, duduk, duduk. Duduk Yang Berhormat, terima kasih. Okey, kalau mengikut Peraturan 12(1) dan 12(3), paling kuat saya diberi kuasa untuk sampai 15 minit sahaja iaitu sehingga 5.45 petang. Saya boleh panggil seorang lagi tapi dengan syarat tepat 5.45 petang, Yang Berhormat itu kena duduk ataupun seterusnya esok. Baik.
Tuan Chow Yu Hui - Raub
Saya memohon untuk ucap.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Ramli bin Mohd Nor
Kalau ikut sini, Yang Berhormat Kepala Batas, bukan Yang Berhormat. Jadi, Yang Berhormat Kepala Batas memilih untuk sekarang atau esok?
[Dewan riuh]
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Ramli bin Mohd Nor
Esok. Baik, kalau demikian...
Dr. Siti Mastura binti Muhammad - Kepala Batas
Isnin insya-Allah.
Tuan Mohd Sany bin Hamzan - Hulu Langat
Isnin Tuan Yang di-Pertua.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Ramli bin Mohd Nor
Baik, Yang Berhormat Kepala Batas esok ya.
Dr. Siti Mastura binti Muhammad - Kepala Batas
Isnin, Tuan Yang di-Pertua.
Tuan Mohd Sany bin Hamzan - Hulu Langat
Isnin Tuan Yang di-Pertua, esok Jumaat.
[Ketawa]
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Ramli bin Mohd Nor
Kalau boleh... Minta maaf, Ya Allah. Hari Isnin depan ya, Yang Berhormat Kepala Batas. Okey, kerana kuasa saya...
Tuan Chow Yu Hui - Raub
Tuan Yang di-Pertua, nampak ada 15 minit ya.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Ramli bin Mohd Nor
Ya, Yang Berhormat?
Tuan Chow Yu Hui - Raub
So, sekarang...
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Ramli bin Mohd Nor
Bukan, Yang Berhormat Kepala Batas siapa?
Tuan Chow Yu Hui - Raub
Saya mahu berucap jika ada masa lagi.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Ramli bin Mohd Nor
Kalau Yang Berhormat- saya telah buat keputusan, kalau ikut peraturan sini, ini giliran Yang Berhormat Kepala Batas. Saya bertanya kepada Yang Berhormat Kepala Batas, Yang Berhormat Kepala Batas bersedia untuk ambil esok. Yang Berhormat Raub akan ada, faham ya? Oleh yang sedemikian Ahli-ahli Yang Berhormat, Mesyuarat Dewan hari ini ditangguhkan sehingga 10 pagi, hari Isnin, 6 Mac 2023.
[Dewan ditangguhkan pada pukul 5.40 petang]