Katalog Hansard
[Tuan Yang di-Pertua **mempengerusikan Mesyuarat****]
Perdana Menteri dan Menteri Kewangan - Dato' Seri Anwar bin Ibrahim
Tuan Yang di-Pertua, saya mohon mencadangkan supaya rang undang-undang bernama “Suatu Akta bagi menggunakan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Disatukan untuk perkhidmatan bagi tahun 2023 dan bagi memperuntukkan jumlah wang itu untuk perkhidmatan bagi tahun ini” dibaca bagi kali kedua sekarang.
Tuan Yang di-Pertua
Silakan, Yang Berhormat.
Dato' Seri Anwar bin Ibrahim
Bismillahi Rahmani Rahim. [Bercakap dalam Bahasa Arab] Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Tuan Yang di-Pertua, firman Allah SWT dalam Surah Yusuf, ayat 55 [Membaca sepotong ayat Al-Quran] Nabi Yusuf a.s. berkata, “Jadikanlah aku pengurus perbendaharaan hasil bumi; sesungguhnya aku bersedia menjaga dengan sebaik-baiknya lagi berusaha memperbaiki cara pentadbirannya.” Kisah Nabi Yusuf a.s. dirakamkan Allah SWT ketika mana Raja Al-Aziz, yakni Raja Mesir ketika itu dalam keresahan akan jangkaan tujuh tahun kegersangan ekonomi setelah limpahan hasil yang jenuh sebelumnya. Menurut Syeikh Muhammad al-Tahir ibn Ashur, ayat ini memaparkan suasana tatkala Nabi Yusuf a.s. tampil mencurahkan khidmat bakti demi mempertahankan maslahat dan kepentingan umat dan negara.
Jangkaan ekonomi meleset mendambakan dua sifat utama yang menjadi prasyarat kepada kejayaan pengurusan belanjawan – Pertama, amanah, kejujuran, ketelusan dalam menabung dan berbelanja. Dalam kegalauan kini, persoalan yang harus dibangkit ialah jumlah yang hidup merempat dan melarat. Apakah dana itu disalurkan secara telus bagi mengelak ketirisan dan pembaziran?
Kedua, kepantasan berdasarkan kefahaman; apakah mungkin berlaku tindakan yang pantas, bijak dan berhemah dalam mengatur dan menyusun serta menetapkan kerangka belanjawan negara?
Justeru, pembentangan Belanjawan 2023 yang saya namakan Belanjawan Madani ialah cerminan prinsip bertanggungjawab dan sistem nilai yang luhur yang mampu mendepani tentangan semasa termasuk tentangan ekonomi global yang sarat dengan ketidaktentuan. Setelah mendengar keluhan rakyat dan gagasan dan gesaan rakan-rakan Ahli-ahli Yang Berhormat di Dewan yang mulia ini, saya memilih untuk menghidang
Dato' Seri Anwar bin Ibrahim
belanjawan dengan memaparkan fakta dan angka sebenar dan tidak cuba mengaburi minda rakyat dengan data memukau.
Lantaran itu, saya mulakan dengan menghurai fakta dan cabaran sebenar yang membelit ekonomi dan tantangan kepada kita di Parlimen dan di negara. Apakah ada tekad politik untuk membuat anjakan dan perubahan yang perlu bagi memacu pertumbuhan dan menghapuskan amalan tamak haloba elit penguasa.
Pertama, kerajaan mewarisi bebanan hutang yang terlalu tinggi. Hutang negara akan menjangkau RM1.2 trilion atau lebih 60 peratus KDNK bagi tahun 2023. Dengan hutang dan liabiliti, kita mencecah RM1.5 trilion atau 81 peratus KDNK. Bayaran khidmat hutang sahaja mencecah RM46 bilion atau 16 peratus daripada hasil, iaitu melebihi had maksimum 15 peratus yang selama ini diamalkan. Saya tekankan, RM46 bilion ini hanyalah untuk kadar faedah atau bunga pinjaman dan bukan leraikan hutang lapuk atau hutang pokok.
Dewan harus diperingatkan, 25 tahun kerajaan berbelanjawan defisit, hutang negara terus membengkak. Kita pernah berhutang untuk membangun tanah FELDA, dahulunya. Ia tidak digusarkan. Akan tetapi, berhutang untuk membiayai projek mega tanpa faedah dengan ketirisan dan amalan rasuah mengundang persoalan apakah kita mengkhianati amanah sekiranya generasi anak muda dibebani dengan hutang yang begitu besar.
Dato' Seri Anwar bin Ibrahim
Kedua, Malaysia mengalami kemerosotan dalam pentadbiran. Amalan rasuah dan penyelewengan bagaikan sudah sistemik sehingga membobrok tadbir urus kerajaan, malah mencalar imej negara kita. Kesannya, Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2022 merudum ke tangga 61 jika dibandingkan tangga 29 pada tahun 1998. Transparency International Malaysia menyebut sebab kemerosotan ini adalah kerana kegagalan membendung rasuah politik.
Laporan Ketua Audit Negara 2020 dan 2021 mendedahkan wujud ketirisan hampir RM3 bilion meliputi kehilangan wang awam, pembaziran dan juga pembayaran tidak teratur. Umpamanya, isu kurang kutip duti import kenderaan, kerajaan telah hilang RM72 juta hanya disebabkan proses kutipan duti import yang lemah.
Selain itu, wujud ketirisan dalam pelaksanaan subsidi diesel yang sepatutnya dituju kepada rakyat miskin. Ketirisan dianggar hampir RM10 bilion nilai subsidi diesel diselewengkan pada tahun lalu. Demikianlah beberapa contoh ketelanjuran yang memberi dampak buruk kepada negara kita.
Ketiga, negara perlu menempuh ketidaktentuan ekonomi dunia. Kadar inflasi terus menekan disebabkan harga komoditi dunia yang masih tinggi dan gangguan rantaian bekalan makanan saat ini kesan daripada perang Rusia-Ukraine.
Tabung Kewangan Antarabangsa (International Monetary Fund, IMF) mengunjurkan pertumbuhan ekonomi dunia 2023 yang menyederhana pada 2.9 peratus ketimbang 3.4 peratus tahun lalu. Sektor perdagangan di peringkat dunia juga diunjur lembap pada kadar 2.4 peratus berbanding 5.4 peratus tahun 2022.
KDNK 2022, Malaysia mencatat pertumbuhan 8.7 peratus disebabkan asas KDNK 2021 yang rendah susulan dampak hentakan wabak COVID-19. Akan tetapi, bagi memberi gambaran penuh prestasi ekonomi, ia patut dilihat bersama dengan pertumbuhan sukuan yang mencatat penurunan iaitu suku pertama – 3.8 peratus, suku kedua – 3.5 peratus, suku ketiga – 1.9 peratus dan suku keempat – 2.6 peratus.
Keempat, pelaburan belum mencapai prestasi sebelum pandemik. Kita meraih pelaburan RM297.5 bilion tahun lalu iaitu 9.4 peratus lebih rendah ketimbang RM328.5 bilion pada tahun 2019. Kedudukan Malaysia dalam Senarai Daya Saing Dunia oleh Institut Pembangunan Pengurusan juga telah jatuh ke tangga 32. Sedangkan kita pernah duduki tangga ke-12 bilamana pelabur meyakini keupayaan ekonomi kita dan kecekapan jentera penyampaian awam.
Dato' Seri Anwar bin Ibrahim
Kelima, tantangan ekonomi yang mengesankan rakyat. Inflasi 2022 berada pada kadar 3.3 peratus dengan kadar inflasi makanan dicatat tinggi iaitu 5.8 peratus. Kadar inflasi tahun ini dijangka sama seperti tahun 2022. Namun, akan lebih tinggi jika ketidaktentuan rantaian bekalan global tidak ditangani. Kadar pengangguran pada tahun 2022 dicatat 3.6 peratus ketimbang 3.3 peratus sewaktu prapandemik tahun 2019.
Pengangguran belia 25 tahun ke bawah masih melebihi 10 peratus. Purata pendapatan belia juga rendah, sekitar RM1,700 pada tahun 2021.
Apa yang disebutkan ialah paparan secara jujur dan terang mengenai kemelut ekonomi yang kita warisi bersama. Maka, Belanjawan Madani ini harus punyai keupayaan untuk menggembleng seluruh kekuatan dan tenaga untuk menterjemah kebijakan baharu.
Kendatipun begitu, saya ingin menggunakan kesempatan ini untuk mengajak pimpinan politik, pengemudi kementerian serta penjawat awam, selain dari para pengusaha dan rakyat untuk menerima kenyataan bahawa negara mampu mencipta lonjakan agar tatanan ini tidak hanya dapat diteladani di negara tetangga serantau tetapi seantero dunia dan pada masa sama membenih keyakinan di kalangan rakyat.
Sebagaimana yang disebut dan ditegaskan dalam al-Quran al-Karim dalam surah Hud, ayat 88; [Membaca sepotong ayat] Tujuan hendak memperbaiki sedaya upaya dan tiada aku akan beroleh taufik untuk menjayakannya melainkan dengan pertolongan Allah.
Kepada Allah jualah kita berserah dan kepada-Nya lah aku kembali.
Sementalahan pula, harus kita akui bahawa amalan pembaziran dan rasuah mesti ditinggalkan. Maka, saya memilih untuk membentangkan kerangka belanjawan yang berteraskan semangat islah bagi maksud memacu pengarahan baharu lagi segar, lantas membenam purbasangka yang kononnya kita masih cenderung mempertahan status quo serta kepentingan golongan mahakaya.
Madah Rabindranath Tagore, “Malam sudah berakhir. Padamkan lampu di sudut sempitmu yang dikotori jelaga. Pagi yang agung untuk semua terbit di Timur, biar cahayanya menerangi jalan kita yang bermakna.” Demikian madah Rabindranath Tagore.
Belanjawan 2023 akan menjadi langkah pertama yang menelusuri kerangka Pembangunan Malaysia Madani. Pembentangan hari ini menumpukan kepada 12 ikhtiar utama berlandaskan tiga tekad iaitu pertama, pemacuan ekonomi yang terangkum dan mampan. Kedua, reformasi institusi dan tata kelola bagi memulihkan keyakinan. Ketiga, keadilan sosial untuk menyederhanakan kesenjangan.
Pemacuan ekonomi yang terangkum dan mampan. Ikhtiar pertama kemapanan Fiskal. Pentadbiran ini bertekad atas prinsip pertanggungjawaban untuk mengawal kedudukan fiskal termasuk menangani permasalahan hutang, dan pada masa sama terus menopang pertumbuhan ekonomi yang terangkum dan mampan.
Pertama, Dasar Fiskal Mengembang. Analisa Bank Dunia dan Fitch menganggarkan pertumbuhan KDNK negara tahun ini diunjurkan pada kadar empat peratus mengambil kira tinjauan ekonomi global yang mencabar. Meyakini prospek ekonomi domestik yang semakin mengukuh, kerajaan mengunjurkan bahawa pertumbuhan ekonomi adalah sekitar 4.5 peratus.
Malah, mengambil kira ikhtiar untuk melaksana pembaharuan dan reformasi pentadbiran, saya yakin insya-Allah negara akan melepasi unjuran KDNK 4.5 peratus.
Tentunya ini didorong langkah tuntas Belanjawan 2023 yang akan memacu pertumbuhan lebih mampan selain keyakinan pelabur antarabangsa yang kembali merancakkan ekonomi negara.
Kerajaan menjangkakan kutipan hasil tahun 2023 berjumlah RM291.5 bilion ketimbang RM294.5 bilion pada tahun lalu. Namun, ini belum mengambil kira sumber hasil tambahan yang saya yakin akan meningkat dan akan diumumkan dalam beberapa minggu ini yang tentunya akan mencecah lebih daripada unjuran yang saya umumkan pada hari ini. Pentadbiran ini mengambil pendekatan dasar Belanjawan 2023 yang mengembang sebagai usaha mendukung pertumbuhan ekonomi supaya limpahannya dapat dinikmati oleh semua rakyat.
Dato' Seri Anwar bin Ibrahim
Belanjawan 2023 memperuntukkan RM388.1 bilion dengan RM289.1 bilion untuk belanja mengurus, RM99 bilion bagi belanja pembangunan termasuk RM2 bilion simpanan luar jangka. Selaras dengan dasar fiskal mengembang, peruntukan pembangunan ditingkatkan kepada RM97 bilion tidak termasuk RM2 bilion simpanan luar, ketimbang RM71.6 bilion ringgit tahun lalu. Peningkatan ini adalah untuk menumpukan program membasmi kemiskinan, baik pulih prasarana awam dan desa. Dengan pembaharuan tatacara perolehan kerajaan, akan dipastikan perbelanjaan tambahan ini dimanfaatkan sepenuhnya untuk kepentingan rakyat.
Kedua, mengawal paras hutang. Atas prinsip pertanggungjawaban, kerajaan mengurangkan defisit fiskal pada tahun 2023 daripada 5.6 peratus tahun sebelumnya kepada lima peratus tahun ini.
[Dewan tepuk]
Dato' Seri Anwar bin Ibrahim
Kerajaan bertekad untuk mencapai tahap defisit fiskal yang mampan dalam jangka masa sederhana dengan sasaran 3.2 peratus kepada KDNK menjelang pada tahun 2025, tertakluk kepada pertumbuhan ekonomi yang terus kukuh.
[Dewan tepuk]
Dato' Seri Anwar bin Ibrahim
Bagi mengekang peningkatan hutang, pinjaman baharu mestilah lebih rendah dan sebaik-baiknya hanya untuk membiayai pembangunan yang membawa pulangan serta dampak langsung kepada rakyat. “Rang Undang-undang Tanggungjawab Fiskal” akan dibentangkan ke Parlimen pada tahun ini.
[Dewan tepuk]
Dato' Seri Anwar bin Ibrahim
Ini satu-satunya jaminan supaya kebijakan ekonomi itu lebih telus dan bertanggungjawab bagi mengelak sebarang kemungkinan berlakunya ketelanjuran berterusan pada masa mendatang.
Ketiga, meningkatkan hasil negara. Mengambil ibrah firman Allah SWT daripada Surah Al-Hasyr, supaya pembahagian kekayaan tidak berlegar kepada suatu kelompok penguasa dan orang kaya, maka pentadbiran ini komited menegakkan keadilan sosial.
Jabatan Perangkaan melaporkan kumpulan teratas (T20) menguasai 47 peratus atau hampir separuh jumlah pendapatan isi rumah.
Dari sudut tabungan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), kumpulan T20 memiliki 80 peratus daripada keseluruhan jumlah simpanan KWSP. Mengambil kira pendapatan dan kekayaan negara tertumpu kepada kumpulan atasan atau golongan elit maha kaya, adalah wajar agihan hasil negara ditumpukan kepada golongan berpendapatan rendah dan menengah. Kerajaan akan mengambil pendekatan yang progresif dalam konteks subsidi bersasar dan struktur percukaian bagi melindungi golongan kurang bernasib baik dan mengharapkan pemahaman rakyat terutama kalangan yang lebih kaya untuk menggalas tanggungjawab secara bersama.
Antara ikhtiar yang telah pun diperkenalkan termasuklah agihan dividen Amanah Saham Bumiputera (ASB) yang lebih kepada rakyat yang memerlukan. Sebanyak 87 peratus ahli dengan simpanan kurang RM30,000 telah diberi dividen 5.1 sen satu unit.
Manakala, simpanan melebihi RM30,000 menerima dividen 4.6 sen per unit. Ini sama dengan pendekatan kita berbeza dengan kefahaman pentadbiran lalu di mana tidak menaikkan tarif elektrik kepada rakyat terbanyak tetapi
[Dewan tepuk]
Dato' Seri Anwar bin Ibrahim
tarif elektrik itu lebih tertumpu kepada golongan atasan yang kaya. Begitu juga, kita kecualikan penggunaan domestik PKS dan sektor makanan dan pertanian.
Kerajaan belum bercadang melaksanakan cukai goods and services tax (GST).
Dalam keadaan rakyat terbanyak yang masih susah, inflasi makanan melebihi lima peratus, kadar upah yang masih rendah, maka ternyata saat ini bukanlah ruang dan masa yang sesuai untuk kita memperkenalkan GST dan melaksanakannya. Kerajaan mengambil pendekatan lebih progresif sebagai langkah baharu meluaskan asas cukai kepada mereka yang punyai kemampuan. Kerajaan bercadang untuk memperkenalkan cukai barangan mewah mulai tahun ini
[Dewan tepuk]
Dato' Seri Anwar bin Ibrahim
dengan had nilai tertentu mengikut jenis barang mewah. Jam tangan mewah, barang fesyen mewah dan segala-galanya yang mewah itu harus dicukai sepatutnya.
[Dewan tepuk]
Dato' Seri Anwar bin Ibrahim
Selaras amalan terbaik antarabangsa, kerajaan akan mengkaji untuk memperkenalkan cukai keuntungan modal bagi pelupusan saham tidak tersenarai oleh syarikat mulai tahun 2024. Ini juga menyentuh kepentingan golongan yang kaya dalam
Dato' Seri Anwar bin Ibrahim
kategori saham yang tidak disenarai. Kerajaan akan mengadakan sesi libat urus bersama pihak berkaitan untuk meneliti perincian pelaksanaannya untuk tahun 2024.
Kerajaan juga bercadang mengenakan duti eksais kepada produk cecair atau gel mengandungi nikotin
[Dewan tepuk]
Dato' Seri Anwar bin Ibrahim
yang digunakan untuk rokok elektronik dan vape.
Walaupun vape bernikotin masih tidak sah di sisi undang-undang, hakikatnya ia telah dijual secara berleluasa dan dianggarkan bernilai lebih RM2 bilion. Alangkah baiknya sekiranya ia dikawal selia dan dikenakan cukai supaya tidak menggalakkan penggunaan vape.
[Dewan tepuk]
Dato' Seri Anwar bin Ibrahim
Kerajaan menyokong ikhtiar generational endgame (GEG) [Dewan tepuk] dan bersetuju supaya separuh daripada hasil duti eksais ini akan diperuntukkan semula kepada Kementerian Kesihatan
[Dewan tepuk]
Dato' Seri Anwar bin Ibrahim
supaya usaha meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan dan kempen antirokok, antiarak yang berkesan.
Bagi mengurangkan ketirisan, usaha penguatkuasaan agensi kerajaan akan terus dipergiat bersama pihak industri bagi mengekang ketirisan hasil dan subsidi angkara sindiket penyeludupan seperti diesel, arak dan rokok. Lembaga Hasil Dalam Negeri
(LHDN) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) akan melaksanakan semula program pengakuan secara sukarela. Melalui program ini, pengampunan ke atas penalti 100 peratus akan diberikan bagi mereka yang membuat pengakuan sukarela membayar cukai mulai 1 Jun 2023 hingga 31 Mei 2024.
[Dewan tepuk]
Dato' Seri Anwar bin Ibrahim
Ikhtiar kedua, memenuhi keperluan ekonomi rakyat. Saya kongsikan petikan surah dari warkah Saidina Ali Abi Talib yang diutuskan kepada calon Gabenor Mesir Malik Ashtar sebagai pedoman kita bersama. “...*dan adakalanya timbul pelbagai kesulitan yang bila kau tunjukkan jalan keluar kepada mereka, nescaya mereka akan menerimanya.
Kesejahteraan mereka pasti mampu meringankan beban yang kau pikul, sebaliknya kehancuran negeri selalunya dari kerakusan para penguasa yang memunggah dan menumpuk kekayaan*”.
Itu pesan Saidina Ali. Pentadbiran oleh itu memahami masih banyak peniaga yang terkesan dengan pandemik lalu, terutamanya perusahaan mikro, kecil dan sederhana
(PMKS).
Dato' Seri Anwar bin Ibrahim
Belanjawan Madani akan memastikan PMKS tempatan kembali berdaya saing dan meningkatkan keupayaan perniagaan mereka; Pertama, untuk PMKS, kerajaan bersetuju mulai tahun taksiran 2023, kadar cukai PMKS ke atas pendapatan bercukai bagi RM150,000 pertama dikurangkan daripada 17 kepada 15 peratus.
[Tepuk] Pengurangan ini dapat memberi penjimatan sehingga RM3,000 kepada setiap 150,000 pembayar cukai PMKS.
Kedua, kemudahan penjaja dan peniaga kecil. Saya sering tegaskan, jangan hanya kita bangga dengan gedung-gendung besar, bangunan mega, mewah dan mercu tanda tetapi peniaga kecil, gerai dan warung tidak diendahkan dan dibersihkan. Oleh sebab itu, kerajaan akan menyediakan − selain daripada peruntukan-peruntukan daripada negeri dan juga dewan bandar raya, kerajaan akan menyediakan RM50 juta bagi membina dan menaik taraf lebih 3,000 gerai dan kios sebagai kemudahan penjaja kecil berniaga di kawasan tumpuan di seluruh negara.
[Tepuk] Sebanyak RM176 juta disediakan bagi menaik taraf premis dan kemudahan perniagaan di bawah MARA, DBKL, PUNB dan Perbadanan Pembangunan Bandar (UDA); Ketiga, kemudahan pinjaman dan jaminan pembiayaan. Pelbagai kemudahan pinjaman dan jaminan pembiayaan untuk manfaat usahawan PMKS dengan nilai keseluruhannya sehingga RM40 bilion. Seperti mana yang ditekankan, ini merupakan strategi penting untuk memperkasa PMKS dalam negara kita. Usahawan mikro dan penjaja kecil, disediakan kemudahan pinjaman bawah agensi seperti Bank Negara Malaysia, BSN dan TEKUN dengan dana yang tersedia berjumlah RM1.7 bilion.
Antaranya, RM300 juta dikhaskan untuk menyokong perniagaan mikro oleh usahawan wanita dan belia.
[Tepuk] BSN menyediakan RM1 bilion dengan tumpuan kepada PKS mikro, penjaja dan golongan belia. TEKUN juga menyediakan RM330 juta termasuk RM10 juta untuk membantu belia kepada keluarga susah meraih pendapatan melalui perniagaan. Kerajaan juga bersetuju menanggung bayaran ujian memandu untuk
Dato' Seri Anwar bin Ibrahim
lesen motosikal kelas B2 dan lesen teksi, bas dan e-hailing. Jadi, bayaran itu akan ditanggung oleh kerajaan dan tidak oleh mereka.
[Tepuk] Bagi Perniagaan Kecil dan Sederhana (SME), hampir RM10 bilion dana pinjaman disediakan oleh Bank Negara. Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) sedia menjamin sehingga RM20 bilion pinjaman PKS dengan sektor tumpuan seperti teknologi tinggi, pertanian, pembuatan diberi jaminan kerajaan sehingga 90 peratus. Jaminan ini, diperluaskan kepada pembiayaan oleh institusi kewangan bukan perbankan seperti syarikat pajakan kredit dan koperasi supaya dapat memberi manfaat khusus kepada penjaja kecil.
Ikhtiar ketiga adalah mendepani musibah bencana. Pertama, persiapan menghadapi bencana. Saya telah tegaskan di Parlimen bahawa perolehan rundingan terus yang dibuat secara tergesa-gesa tanpa penelitian hanya membazirkan wang dan menguntungkan beberapa kerat, sedangkan projek itu mustahak, kritikal dan boleh menyelamatkan nyawa dan harta benda. Projek-projek ini selalunya menelan belanja yang besar. Ketelanjuran lalu yang secara gopoh meluluskan projek tebatan banjir telah dibatalkan dan kini dalam siasatan dan tindakan SPRM dan Jabatan Peguam Negara.
[Tepuk] Bagi memastikan projek tebatan banjir benar-benar mencapai matlamatnya, projek cakna rakyat dan berimpak tinggi mesti dilaksanakan secara tender supaya menjamin nilai faedah terbaik dan memberi penjimatan kepada kerajaan.
[Tepuk] Sebagai contoh, negara dijangka mampu jimat antara RM2 bilion daripada RM15 peruntukan tebatan banjir yang disediakan sebelum ini. RM2 bilion daripada RM15 bilion. Lantaran itu, pelaksanaan perolehan mesti − mesti dan wajib dilakukan secara tender dan telus.
Kementerian Kewangan malah bercadang untuk memaparkan di media dan televisyen bagi proses tender dan siapa yang memperolehnya [Tepuk] Tahun ini, enam projek tebatan banjir akan ditender semula dengan segera selewat-lewatnya bulan Jun 2023 iaitu;
(i) Rancangan Tebatan Banjir di Sungai Johor, Kota Tinggi, Johor;
(ii) pembinaan kolam takungan dwifungsi bagi tebatan banjir dan sumber bekalan air mentah di Sungai Rasau dan Sungai Klang, Selangor; dan
(iii) pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu Sungai Golok Fasa 3, Kelantan.
Prestasi pasukan penyelamat kita di Turkiye baru-baru ini amat cemerlang dan membanggakan. Persiapan mendepani ancaman ini akan boleh kita tingkatkan berdasarkan pengalaman di dalam negara dan peringkat antarabangsa. NADMA disediakan RM150 juta untuk keperluan ini. Angkatan Tentera Malaysia, Bomba dan RELA juga disediakan RM50 juta tambahan dan tentunya peranan komuniti turut diperkasa. Sebanyak RM20 juta disediakan di bawah Geran Pertubuhan Prihatin Komuniti untuk memanfaatkan 2,000 persatuan penduduk; dan Kedua, amalan hijau. Ini selalu dibaca oleh Ahli-ahli Yang Berhormat. Firman Allah SWT Surah Ar-Rum, ayat 41.
[Membaca sepotong ayat al-Quran] “Kerosakan yang berlaku di darat dan di laut − fasad ini kerosakan, bencana, rasuah, malapetaka dilakukan di darat dan di laut disebabkan kerana tangan manusia”. Maka, kerasukan dan kegelojohan menggondol khazanah alam, pembalakan bermaharajalela adalah antara sebab dan punca terjadinya bencana.
Maka, di samping mengejar pertumbuhan ekonomi, penting untuk kita mengadun sebuah mutu kehidupan yang mampan dan seimbang serta menjaga hubungan antara manusia dan alam.
Tekad kerajaan adalah untuk mempertahankan khazanah semula jadi negara, memelihara biodiversiti dan pengurusan hutan yang pada masa sama mengurangkan kebergantungan kerajaan negeri kepada hasil balak. Peruntukan Ecological Fiscal Transfer for Biodiversity Conservation (EFT) kepada kerajaan negeri akan ditingkatkan daripada RM70 juta tahun lalu kepada RM150 juta.
[Tepuk]
Dato' Seri Anwar bin Ibrahim
Pada masa yang sama, RM38 juta disediakan bagi memelihara hidupan liar harimau, gajah, badak sumbu dan lain-lain. Kerajaan akan menambah bilangan renjer bagi mengawal kawasan hutan kepada 1,500 orang dan mengutamakan khidmat komuniti Orang Asli, veteran tentera dan polis.
[Tepuk] Ini melibatkan RM50 juta tambahan.
Kerajaan juga akan terus menggalakkan amalan hijau dalam perniagaan. Bank Negara akan menyediakan dana pinjaman sehingga RM2 bilion.
[Tepuk] Bagi mendukung syarikat pemula teknologi lestari dan membantu syarikat PKS menerap amalan rendah karbon. Khazanah pula menyediakan RM150 juta bagi merancakkan pembangunan projek mesra alam termasuk mendukung pasaran karbon dan penghutanan semula. Skim Pembiayaan Teknologi Hijau (GTFS) ditambah baik dengan nilai jaminan dinaikkan kepada RM3 bilion sehingga 2025.
[Tepuk] Ikhtiar keempat, meraih pelaburan berimpak tinggi. Pertama, memudah cara pelaburan. Agak membimbangkan apabila mana kadar inovasi negara ini masih rendah, di samping nilai pelaburan yang belum melepasi tahap prapandemik. Perlu ada kebijakan baharu yang berupaya memberdaya ekosistem serta menarik lebih banyak kemasukan pelaburan.
Dato' Seri Anwar bin Ibrahim
Bagi merancakkan pelaburan sektor berteknologi dan berimpak tinggi serta Dasar Pelaburan Baharu, diperkenalkan Invest Malaysia Council dan Jawatankuasa Nasional Mengenai Pelaburan (NCI), akan menerajui usaha mempercepat kelulusan projek pelaburan berpotensi tinggi. Sementara PEMUDAH akan diperkasa sebagai unit pemudah cara iklim pelaburan dan persekitaran perniagaan.
Kerajaan juga akan menambah baik prosedur menjalankan perniagaan bagi mengurangkan birokrasi termasuk memberikan insentif kepada pihak berkuasa tempatan yang memudah cara pelaksanaan pelaburan yang telah diluluskan bagi memastikan usaha pelaburan dapat dipercepat.
Kajian Bank Negara menunjukkan, manfaat pelaburan langsung asing (FDI) dilihat semakin mengecil...
[Meneguk air] ekoran ketersediaan insentif yang tinggi dan pelaburan bernilai tambah rendah. Malaysia mempunyai lebih 100 jenis insentif, 30 agensi promosi pelaburan (IPA). Dengan pola perubahan global susulan perkembangan teknologi dan perubahan iklim, evolusi insentif di Malaysia diperlukan untuk menyokong kegiatan ekonomi dan melalui penyelarasan yang lebih berkesan.
Untuk bergerak ke hadapan, Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 akan diumumkan pada suku ketiga 2023 untuk melakar hala tuju pembangunan perindustrian yang bertumpukan aktiviti berkualiti tinggi dan pengambilan bakat tempatan. Selari dengan pelan ini, agensi promosi pelaburan dan insentif pelaburan akan distrukturkan semula ke arah kadar cukai berperingkat berasaskan hasil mewujudkan pekerjaan bernilai tinggi.
Pemantauan pelaburan yang menerima insentif juga akan diperkasa.
Antara isu utama pelabur asing ialah kurangnya bakat tempatan yang membolehkan mereka melabur dan beroperasi di Malaysia. Sedangkan pada masa yang sama, kita memberikan biasiswa kepada lebih 1,000 pelajar dalam bidang kejuruteraan di Jepun, Korea, Perancis dan Jerman.
Maka bagi menangani isu ini, kerajaan akan menyelaras kerjasama antarabangsa dengan syarikat multinasional asing untuk menyediakan peluang perantisan di negara pemegang biasiswa menuntut. Maknanya, pelajar dibenarkan untuk menyempurnakan bon perkhidmatan mereka dengan syarikat tersebut sama ada di Korea atau Perancis.
Kedua, Pelaburan dalam Sektor Keutamaan, Elektrikal & Elektronik (E&E) dan aeroangkasa. Kerajaan bercadang untuk melanjutkan galakan cukai kepada syarikat pengilangan yang memindahkan operasi ke Malaysia dengan kadar cukai 15 peratus kepada C-Suite sehingga 2024.
[Tepuk]
Dato' Seri Anwar bin Ibrahim
Melanjutkan insentif cukai pendapatan serta elaun cukai pelaburan sehingga 31 Disember 2025 dalam bidang aeroangkasa bagi menggalakkan pengembangan kapasiti syarikat sedia ada dan menarik pelaburan daripada syarikat baharu.
Bank Pembangunan Malaysia Berhad menyediakan sehingga RM6 bilion pembiayaan strategik khusus untuk menggalakkan agenda mampan dan automasi skim sokongan dalam bentuk ekuiti dan modal kerja pusingan kepada syarikat berpotensi tinggi yang masih terjejas dengan COVID-19.
Kerajaan juga memandatkan Tun Razak Exchange (TRX) sebagai hab kewangan antarabangsa Malaysia. TRX perlu berusaha menarik industri kewangan global supaya berupaya menjadi destinasi utama pelaburan asing berkualiti tinggi.
Kerajaan juga bercadang untuk memperkukuh pembangunan Iskandar Malaysia di Johor melalui pewujudan zon khas kewangan dengan pakej imbuhan yang berdaya saing bagi menarik pelabur antarabangsa dan pekerja profesional berpengetahuan, terutama di Singapura tetapi mampu menetap di Malaysia dengan kemudahan dan galakan yang kita sediakan.
Bagi mendukung dan menggalakkan kemasukan pelabur, peniaga dan pelancong, kerajaan bercadang untuk membesarkan dan meningkatkan keupayaan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dan Lapangan Terbang Subang...
[Tepuk] dan ini akan diterajui oleh kedua-duanya, Lapangan Terbang Subang juga diterajui oleh MAHB. Ini dijangka memanfaatkan pertumbuhan ekonomi pada kos yang jauh lebih rendah berbanding dengan cadangan pembinaan satu lapangan terbang baharu di Kulim yang dianggarkan berbelanja RM7 bilion yang tidak boleh dipertimbangkan dalam keadaan sekarang.
Tumpuan juga diberikan bagi menyokong projek pembangunan Pelabuhan Sanglang di Perlis untuk dapat menjana pertumbuhan yang lebih segar di Perlis, bagi mengendalikan kargo petroleum dan kargo pukal yang akan memberi nilai tambah kepada ekonomi Perlis. Dalam masa yang sama, kerajaan akan membina struktur baharu hakisan pantai antara Kuala Sanglang, Perlis ke Kuala Jerlun Kubang Pasu, Kedah.
Bagi menyokong perkembangan perdagangan antarabangsa, kerajaan mendukung cadangan pembangunan pelabuhan utama di Pulau Carey oleh pihak swasta.
Ketiga, Ekonomi dan Kewangan Islam. Ramai keluarga kita yang dahulunya menyimpan wang di bawah bantal. Saya masih ingat bila kita perkenalkan Bank Islam, ramai orang Melayu yang simpan wang di bawah bantal. Akan tetapi sekarang mereka dapat memanfaatkan kemudahan Bank Islam, takaful dan lain-lain. Akan tetapi pendekatan yang hanya menggunakan sifar riba, itu bukanlah memenuhi maksud maqasid syariah dalam ekonomi dan perbankan.
Maka sebab itu, sementara Malaysia terus menerajui sektor kewangan Islam di dunia sejak diperkenalkan lebih empat dekad lalu, kita juga kekal dengan kedudukan teratas tetapi haruslah memikir hala cara baharu untuk mengembangkan kegiatan supaya lebih dekat dengan maksud maqasid dan ekonomi Islam yang lebih adil dan menyeluruh.
Sektor kewangan Islam masih belum mencapai keupayaan penuh berasaskan nilai bagi memenuhi keperluan ekonomi dan sosial semasa.
Ekosistem kewangan Islam hari ini belum menepati idealisme seorang pelopor konsep kewangan Islam ini, Profesor Dr. Muhammad Nejatullah Siddiqi yang sekarang ini meminta supaya pengurus-pengurus bank Islam memikir semula dari sudut keadilan dan moral yang selari dengan maqasid syariah. Beliau antaranya menyebut, “more than anything else, Islamic banking and finance, a sub-culture of Islamic economics, has been a quest for justice and morality into the ordinary business of life”.
[Tepuk] Almarhum Sheikh Yusuf al-Qaradhawi dalam kunjungan ke Malaysia pada tahun 2009, menyatakan keprihatinan terhadap sistem kewangan Islam agar dirangka dengan ikhtiar baharu yang lebih berkesan bagi pembangunan sosioekonomi rakyat berlandaskan keadilan sosial.
Dato' Seri Anwar bin Ibrahim
Maka perlunya kebijakan baharu dalam meningkatkan keupayaan sistem kewangan Islam dengan menekankan prinsip pemacuan pertumbuhan, penyertaan yang lebih meluas dan pengagihan kekayaan yang lebih adil dan tidak hanya tertumpu kepada keuntungan syarikat dan konglomerat.
Ini juga jelas diungkap oleh Sir Ronald Cohen dalam karyanya ‘Impact: Reshaping Capitalism to Drive Real Change’ bahawa betapa kejayaan syarikat berteraskan impak sosial yang bukan hanya berpaksikan keuntungan semata-mata.
Kementerian Kewangan, Bank Negara dan Suruhanjaya Sekuriti terus memberi penekanan untuk meningkatkan penyediaan pembiayaan Islam berteraskan ekuiti dengan konsep perkongsian risiko seperti mudarabah dan musyarakah.
BNM juga memperkenalkan Climate Risk Management and Scenario Analysis, Towards A Greener Financial System and Financial Inclusion Framework 2023-2026 dan di peringkat global, the General Council for Islamic Banks and Financial Institutions turut telah mengeluarkan Sustainability Guide for Islamic Financial Institutions.
Dato' Seri Anwar bin Ibrahim
Berhubung simpanan syariah KWSP yang telah diperkenalkan sejak tahun 2017, pada masa ini, aset simpanan syariah dilaburkan bersama aset patuh syariah dalam simpanan konvensional. Maka, bermula tahun 2024, aset simpanan syariah akan diasingkan sepenuhnya bagi memberi pulangan yang kompetitif kepada 1.25 juta ahli yang memiliki akaun syariah. Ini pendekatan baharu supaya bersih pelaksanaannya yang tidak difikirkan sebelum ini.
Sesuai dengan kerangka madani, kaedah berwakaf merupakan salah satu mekanisme pengagihan semula kekayaan yang menyumbang kepada kesejahteraan sejagat.
Kejayaan pembinaan Menara Bank Islam di segi tiga emas Kuala Lumpur atas wakaf Ahmad Dawjee Dadabhoy yang bernilai ratusan juta ringgit menunjukkan keupayaan sektor wakaf terhadap agenda pembangunan. Begitu juga Wakaf Seetee Aisyah dan Wakaf Simpang Enam di Pulau Pinang yang boleh dijadikan rujukan sebagai pusat sosioekonomi rakyat setempat.
Wakaf FELDA membuktikan adanya anjakan minda peneroka apabila mereka bukan lagi semata-mata golongan menerima bantuan tetapi saya ucap terima kasih kepada peneroka FELDA yang membantu mengumpulkan wakaf terkumpul sebanyak RM27 juta tabung wakaf baharu.
[Tepuk] Setakat ini, tanah wakaf berdaftar yang berjaya dibangunkan hanyalah sekitar 3,500 hektar atau 12 peratus. Maka, usaha harus dipertingkatkan. Dengan ini, sukacita saya maklumkan kerajaan telah menerima komitmen swasta untuk mewujudkan Wakaf Madani dengan aset bernilai lebih RM1 bilion, [Tepuk] dan akan dioptimumkan bagi manfaat golongan fakir miskin, berpendapatan rendah dan golongan rentan yang lain.
Ikhtiar kelima, pembaharuan sektor awam. Saya mahu buktikan Tuan Yang di- Pertua, bahawa negara ini ada seorang anak Melayu boleh terus menjaga dan membela kepentingan rakyat dengan cekap dan beramanah. Saya juga mahu buktikan bahawa pimpinan Muslim boleh dihormati kerana bukan sahaja prinsip keadilannya tetapi bersih daripada salah laku dan kerosakan rasuah dan penyelewengan.
[Tepuk] Maka, Kerajaan Perpaduan dengan tegas akan melaksanakan reformasi institusi dan tata kelola yang baik. Semua agensi kerajaan termasuk LHDN, SPRM dan PDRM sedang giat menyiasat salah laku rasuah dan termasuk tanpa kecuali sama ada Pandora Papers atau apa-apa sahaja dan kita tidak harus diugut untuk ditakutkan kononnya kerana membongkar.
Tuan Yang di-Pertua, belanjawan ini dan kerajaan hari ini mesti berikan satu mesej yang jelas bahawa rasuah dan penyelewengan tidak boleh diteruskan lagi di negara ini.
[Tepuk] . Oleh sebab itu —terima kasih. Saya nampak suara dari 222 untuk menyokong.
[Tepuk]
Dato' Seri Anwar bin Ibrahim
Ketelusan dalam perolehan kerajaan. Pelaksanaan perolehan kerajaan mesti telus dan terbuka berlandaskan tata kelola yang baik. Saya sebutkan ya. Projek tebatan banjir tadi RM15 bilion boleh diselamatkan. Dua, Jana Wibawa RM7 bilion. Akan tetapi kita sudah batalkan yang belum dilaksanakan, batalkan projek rundingan terus.
Seorang Ahli
[Berucap tanpa menggunakan pembesar suara]
Dato' Seri Anwar bin Ibrahim
Ya, kita batal semua rundingan terus. Jangan bimbang. Ini saya bagi pengakuan boleh check kemudian arahan saya kepada semua kementerian. Setelah sebilangannya ditender semula dengan telus, negara dijangka boleh jimat sehingga RM3 bilion.
[Tepuk] Dalam tahun 2019, kerajaan telah mencadangkan pembentangan Akta Perolehan Kerajaan tetapi telah ditangguhkan tahun demi tahun. Maka, Kerajaan Perpaduan bercadang membentangkan Akta Perolehan Kerajaan tahun ini juga. *Insya-Allah.
[Tepuk]* Ada masalah daripada segi apa yang dikatakan whistleblowers. Orang memberi maklumat. Kadang-kadang memberi tekanan atau takut dan mendapat ugutan. Oleh yang demikian, kerajaan akan meminda dan membentangkan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat pada tahun ini.
[Tepuk] Projek Prasarana Rakyat. Kita ini saban tahun setelah enam dekad, enam dasawarsa merdeka, masih berdepan dengan masalah sekolah daif dan klinik daif. Saya tidak mahu perkara ini terus berlarutan. Kita akan permudahkan prosedur dan tahun ini kita mulakan projek raksasa. Bukan projek besar mega tetapi membaiki 400 buah klinik daif dan 380 buah sekolah daif. Semua sekolah daif dikenal pasti oleh Kementerian Pendidikan, 400 buah klinik daif oleh Kementerian Kesihatan dan kita siapkan dana tambahan RM1.2 bilion untuk maksud ini.
[Tepuk] Kita akan memberikan beberapa kelonggaran tentang had sebut harga perolehan kerja pembaikan. Walaupun ada proses tender tetapi dipercepatkan supaya kita boleh jangka siap sekolah-sekolah ini diduduki oleh anak-anak kita sebelum akhir tahun.
Isu kemalangan jalan raya harus ditangani. Kerajaan menyediakan RM2.7 bilion untuk menyelenggarakan dan menaik taraf jalan persekutuan.
[Tepuk] Dalam masa sama, bagi melaksanakan penyelenggaraan kecil, RM300 juta disediakan khusus untuk kontraktor G1 hingga G4.
Sejumlah RM1.5 bilion disediakan bagi menaik taraf dan membina baharu jalan perhubungan desa dan jalan-jalan luar bandar. Bagi isu jalan-jalan berlubang, khidmat Jurutera Daerah akan digunakan. Kadang-kadang kita bicara tentang kota-kota tetapi tidak selesai dengan kerenah jalan berlubang dan permasalahan kecil yang kalau kita tunggu ikut prosedur biasa agak rumit.
Oleh yang demikian, kita akan perkenalkan satu kaedah baharu untuk Pegawai Daerah, Pegawai Jajahan untuk Kelantan, residen di Sarawak iaitu memberikan kuasa Pegawai Daerah dan khidmat Jurutera Daerah untuk memperbaiki jalan berlubang dan masalah-masalah kecil itu dalam tempoh segera tanpa mengikuti pandangan jabatan- jabatan yang lain.
Sejumlah RM50 juta disediakan untuk memasang lampu-lampu jalan khususnya di kawasan berkemalangan tinggi. Pemberian MARRIS untuk kerajaan-kerajaan negeri juga ditambah untuk semua negeri tanpa kecuali iaitu RM5.2 bilion. Jadi, janganlah asyik mengeluh kata tidak dapat. Saya bagi kelulusan ini kalau sekolah daif, semua negeri, semua jenis sekolah. Kalau klinik, semua negeri, semua daerah termasuk Pasir Mas.
Perkhidmatan kerajaan perlu cerdas mengadaptasi teknologi dan digital bagi mengurangkan kerenah birokrasi. Sebuah Pasukan Petugas Khas Reformasi Agensi
(STAR) dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara telah ditubuhkan. Dana akan disediakan di bawah STAR. Bagi memastikan perkhidmatan pengkomputeran awan dalam sektor awam yang berkesan, MAMPU telah mengambil langkah strategik dengan menaik taraf perkhidmatan MyGovCloud. Perkhidmatan ini mampu berfungsi secara hibrid dengan turut menggabungkan perkhidmatan public cloud oleh cloud service provider yang dilantik kerajaan.
Dato' Seri Anwar bin Ibrahim
Keempat, menangani isu-isu rakyat. Jenayah penipuan dalam talian atau scam kini semakin parah. Untuk tahun 2022 sahaja, lebih 25 ribu jenayah direkodkan dengan kerugian sebanyak RM850 juta. Walaupun kerajaan telah menubuhkan National Scam Response Centre (NSRC), tetapi belum ada dasar seragam dalam menangani isu ini kerana setiap institusi perbankan mengeluarkan garis panduan masing-masing.
Dato' Seri Anwar bin Ibrahim
Bagi mengukuhkan peranan NSRC, sejumlah RM10 juta disediakan bagi geran pengoperasian. Bank Negara juga akan menguatkuasakan dasar “kill switch” kepada semua institusi perbankan bagi membolehkan pengguna sendiri mengambil tindakan segera membekukan akaun mereka termasuk kad ATM daripada digunakan sekiranya terdapat aktiviti yang mencurigakan.
Masalah muflis. Rakyat yang diisytihar muflis berhak diberikan peluang kedua terutama jumlah hutang yang agak kecil. Setakat Januari, lebih 260,000 kes muflis telah direkodkan yang turut melibatkan anak-anak kita majoritinya Melayu yang punyai potensi menyumbang kepada ekonomi negara.
Kerajaan akan meminda Akta Insolvensi 1967 supaya kes muflis dapat dilepaskan secara automatik pada masa yang singkat.
[Tepuk] Sementara menunggu pindaan, kes- kes kecil yang hutangnya RM50,000 ke bawah atau kurang RM50,000 yang memenuhi syarat akan dilepaskan dari muflis serta-merta mulai 1 Mac ini.
[Tepuk]
[Dewan riuh]
Dato' Seri Anwar bin Ibrahim
Dengan langkah ini insya-Allah kita akan lepaskan sekitar 130,000 rakyat daripada status muflis.
[Tepuk] Kerajaan Perpaduan juga sentiasa prihatin akan keselamatan masyarakat kita terutama wanita dan kanak-kanak tetapi yang melibatkan wanita dan kanak-kanak masih dilihat membimbangkan. Bahagian D11, Polis Diraja Malaysia akan bertindak lebih agresif bagi menyiasat kes seksual wanita dan kanak-kanak. Antaranya, pasukan khas di bawah D11 akan ditubuhkan khusus untuk membanteras aktiviti pornografi kanak-kanak dan bekerjasama dengan pelbagai agensi.
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan mewujudkan Jabatan Pembangunan Kanak-kanak di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat.
[Tepuk] Syarikat yang menyediakan perkhidmatan kredit pengguna seperti syarikat pemfaktoran dan Buy Now Pay Later perlu dikawal bagi melindungi hak pengguna. Bagi menjamin layanan yang adil serta melindungi hak rakyat dan perniagaan, kerajaan akan menggubal Akta Kredit Pengguna serta menubuhkan Lembaga Pemantauan Kredit Pengguna bagi mengawal selia perniagaan kredit yang dijangka akan dibentangkan pada tahun ini.
Bagi membantu rakyat susah mendapat pembelaan yang adil dan saksama, orang-orang kecil yang curi kecil-kecil itu merengkok di penjara sekian lama. Maka, oleh yang demikian, kita akan memperkasa Jabatan Bantuan Guaman yang akan menaikkan hak kelayakan mendapat bantuan guaman penuh daripada RM30,000 kepada RM50,000.
Saya harap syarikat guaman yang besar turut harus membantu mengurangkan beban dengan memastikan peguam-peguam baru diberikan pengarahan dan latihan untuk bersama dalam Program Bantuan Guaman ini.
Kelima, reformasi institusi. Kerajaan menekuni pengarahan baru dan mereformasikan institusi perkhidmatan awam yang dilihat mempunyai pertindanan kuasa dan fungsi yang sama. Ini termasuk kemungkinan membebaskan sepenuhnya dan mengasingkan saraan bagi Badan-badan Kanun Persekutuan yang mandiri. Langkah ini dilihat penting bagi mengurangkan kebergantungan kepada kerajaan.
Pemusatan badan-badan kerajaan dengan fungsi yang hampir sama bertujuan supaya lebih efektif dan menunaikan mandatnya. Sebagai contoh, kerajaan bercadang penstrukturan semula institusi yang memperkasakan pegangan pelaburan bumiputera dengan menggabungkan Yayasan Pelaburan Bumiputera, Yayasan Amanah Harta Bumiputera dan Yayasan Ekuiti Nasional dalam tempoh terdekat untuk menjadikan Yayasan Pelaburan Bumiputera itu gergasi dalam dunia korporat rantau ini.
[Tepuk] Kerajaan juga meneliti keperluan struktur semula semua agensi mengawal selia dan menyelaras ekosistem syarikat pemula dan inovasi yang terlalu banyak sudah
Dato' Seri Anwar bin Ibrahim
bercambah dan harus disatukan dan diselaraskan. Satu perkara pokok yang diberi perhatian, agensi kerajaan hendaklah kembali mengutamakan fungsi asal penubuhan mereka. Pengarahan baru yang lebih tuntas perlu bagi meneliti kemungkinan menutup mana-mana syarikat subsidiari.
Ada syarikat-syarikat kerajaan yang tujuannya membantu nelayan, petani, penternak dan pekebun kecil tetapi membentuk syarikat-syarikat kecil, pelancongan, sekuriti yang bukan menjadi core business mereka. Ini arahan akan dikeluarkan supaya mereka menghentikan amalan ini serta-merta dan menumpukan kegiatan membantu nasib rakyat.
[Tepuk] Begitu juga kadang-kadang dalam syarikat-syarikat kerajaan kerana lantikan itu memihak kepada kawan-kawan, keluarga dan kroni maka pakej saraan ketua eksekutif dan pengurusan tertinggi syarikat dan badan berkanun patutlah lebih munasabah dan tidak berjuta-juta seperti yang diamalkan sekarang.
[Tepuk] Kerjasama awam dan swasta harus ditingkatkan. TVET sepertimana saya umumkan di Parlimen menelan belanja RM6.7 bilion, 500 institusi dan mutu latihan itu dipertikai. Walaupun di setengah-setengah graduan TVET itu mempunyai pekerjaan tetapi 90 peratus hampir kesemuanya gaji lebih kurang dari RM2,000 sebulan. Oleh itu, kebijakan baru seperti mana yang dilakukan di Pulau Pinang, PSDC untuk memastikan penyertaan syarikat-syarikat seperti Intel, Motorola, Inari yang mengemudi PSDC ini dan menganjurkan latihan yang berkesan memenuhi keperluan syarikat-syarikat berkenaan.
Dengan beberapa penyesuaian daripada contoh ini kita akan perkenalkan satu pendekatan baru supaya TVET dan pusat latihan terkait diambil alih oleh syarikat-syarikat yang mampu mengendali. Umpamanya, PETRONAS terus meningkatkan usaha mereka di Batu Rakit, di Kimanis, di Miri dan akan diminta mengambil alih TVET di Pengerang.
DRB-HICOM bagi kluster automatif mengambil alih TVET di Pekan.
Sunway dan Berjaya mengambil alih beberapa TVET dalam kluster perhotelan.
MRCB mengambil alih TVET yang sekarang di kendali oleh kerajaan bagi kluster pembinaan. Bank-bank bagi kluster perkhidmatan kewangan. Saya percaya dengan cadangan ini Skim Latihan Dual Nasional akan diperkukuhkan juga dengan dana tambahan RM50 juta untuk 8,000 pelatih.
Kerajaan akan turut menggalakkan sektor swasta menggaji dengan nilai yang lebih tinggi. Masalah negara kita ini ialah peningkatan produktiviti tetapi kadar upah yang rendah. PERKESO akan menyediakan insentif kepada majikan yang menggaji 17,000 graduan khususnya TVET sebanyak RM600 sebulan selama tiga bulan sebagai tambahan kepada gaji ditawarkan. PERKESO juga menyediakan insentif kepada majikan menggaji golongan mudah terjejas seperti OKU, bekas banduan, gelandangan, penganggur tegar sehingga RM600 sebulan untuk tempoh selama tiga bulan.
Kerajaan turut menggalakkan anak-anak muda meningkatkan keupayaan dan kemahiran bagi meraih gaji yang lebih bermakna. Kerajaan akan menanggung bayaran latihan untuk pekerja gig menjalani program peningkatan kemahiran micro-credentials sehingga RM4,000. PERKESO menyediakan elaun RM300 untuk tiga bulan bagi menggantikan pendapatan pekerja gig yang aktif dan sedang menjalani program latihan.
Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRDCorp) dengan dana RM1 bilion akan dimanfaatkan untuk tujuan program latihan kemahiran pekerja-pekerja bagi majikan berdaftar dengan levi terkumpul.
Bagi membantu menangani pengangguran di kalangan belia, syarikat-syarikat berkaitan kerajaan akan menawarkan 35,000 peluang kerjaya kepada lepasan sekolah dan graduan. Sektor minyak sawit mengalami kerugian hasil RM20 bilion akibat dasar yang mengekang pengambilan pekerja terutama pekerja asing. Dengan dasar pemutihan yang baru, masalah ini hampir selesai tanpa melibatkan ejen pekerja asing yang mengambil laba yang tinggi.
Dato' Seri Anwar bin Ibrahim
Ini satu usaha yang dibanggakan terutama Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Dalam Negeri terpaksa bertempur dengan satu sistem yang rosak.
Dato' Seri Anwar bin Ibrahim
Pemimpin-pemimpin yang memberi bantuan, galakan kepada ejen-ejen yang kaya raya dan menekan pekerja asing menganggap mereka sebagai separuh hamba.
[Tepuk] Saya bangga kerana melalui pelepasan pemutihan ini, lebih 200,000 pekerja diambil tanpa membayar ejen RM20,000, RM25,000 dan RM15,000 semata-mata bukan membela nasib pekerja tetapi memperkayakan ejen dan rakan-rakan mereka.
[Tepuk] Kebanyakan sektor berisiko tinggi masih bergantung dengan pekerja asing. Ini disebabkan sektor ini menawarkan gaji rendah dan kebajikan pekerja tidak terjamin. Kita mendengar banyak cerita tentang kononnya graduan Melayu tidak bersedia bekerja di ladang tetapi saya bangga kerana Sime Darby Plantation membuktikan bahawa pekerja tempatan termasuk pekerja dan graduan Melayu bersedia bekerja di ladang sawit jika gaji dibayar sekurang-kurangnya RM3,000 dan diperkenalkan mekanisasi dan automasi.
Sasaran mereka adalah untuk menggaji 100 peratus pekerja tempatan menjelang akhir 2027. Saya ucap tahniah kepada *Sime Darby Plantation.
[Tepuk]* Untuk automasi sektor perladangan, RM50 juta disediakan termasuk robotik, artificial intelligence (AI), kecerdasan buatan dan lain-lain. RM80 juta disediakan bagi menambah baik kelestarian industri sawit dan mempergiatkan Kempen Menangani Antiminyak Sawit. Menteri Perladangan dan Komoditi menjelaskan bahawa Thailand telah sama bersedia dalam kartel kelapa sawit bersama Malaysia dan Indonesia. Ini satu perkembangan yang baharu kerana sebelum ini hanya Malaysia dan Indonesia.
Keperluan kaum wanita terutamanya mereka yang terpaksa berhenti bekerja selepas tempoh cuti bersalin untuk menjaga anak-anak, bagi menggalakkan wanita kembali bekerja, PERKESO akan meminda aktanya untuk membolehkan pemberian geran bersamaan 80 peratus daripada nilai gaji yang diinsuranskan pekerja. Dianggarkan lebih 130,000 wanita yang kembali bekerja selepas bersalin akan mendapat manfaat daripada geran ini melibatkan dana keseluruhannya RM290 juta.
[Tepuk] Saya menyeru supaya majikan memainkan peranan dan turut bertanggungjawab menyediakan pusat jagaan kanak-kanak di pejabat dan di kilang. Selama ini pusat jagaan hanya disediakan oleh kerajaan. Jadi kita harus pantau supaya syarikat-syarikat besar dan kaya sepatutnya menyediakan tempat untuk bayi dan kanak-kanak sementara ibu bekerja.
Kepada penjawat awam, kerajaan akan menyediakan subsidi yuran taska RM180 sebulan selain menaikkan had kelayakan pendapatan bulanan isi rumah yang layak daripada RM5,000 kepada RM7,000. Terkait hal yang sama, bagi memperluaskan akses pendidikan awal kanak-kanak, kerajaan akan meneruskan pembinaan 80 buah taska dan tabika KEMAS termasuk 13 projek baharu.
[Tepuk] Dana Sepadan untuk merancakkan sektor pelancongan. Negara kita kaya dengan limpahan khazanah alam yang mempesonakan, pantai bersih dan menawan dan segala kepelbagaian flora dan fauna. Kita harus manfaatkan supaya berlaku lonjakan kerana tahun 2025 ditetapkan sebagai Tahun Melawat Malaysia dengan sasaran ketibaan 23.5 juta pelancong antarabangsa dan unjuran pendapatan sehingga RM76.8 bilion. Untuk ini, promosi RM250 juta untuk maksud tersebut. Dana geran padanan yang akan bekerjasama dengan industri pelancongan dan kebudayaan.
Terkait dengan hal pelancongan, kesesakan jalan raya telah menjejaskan beberapa lokasi tumpuan pelancong. Kerajaan akan melaksanakan projek:
(i) membina jalan baru dari Habu ke Tanah Rata, Cameron Highlands, Pahang dengan kos sebanyak RM480 juta;
(ii) menaik taraf Jalan Tun Hamzah ke persimpangan Semabok Lebuh AMJ Daerah Melaka Tengah dengan kos sebanyak RM300 juta;
(iii) membina jalan dan jambatan Sungai Sepang bagi menghubungkan Bukit Pelandok, Port Dickson dan Sungai Pelek, Sepang dengan kos projek RM160 juta. Bukan Tambun ya, Port Dickson, dan;
Dato' Seri Anwar bin Ibrahim
(iv) menambah baik kemudahan jaringan lebuh raya ke Pengerang melalui pembinaan lorong memotong di Senai Desaru Expressway. Kerajaan juga bersetuju melaksanakan projek naik taraf Lebuhraya Utara Selatan dari Yong Peng Utara ke Senai Utara - Fasa 1, Johor daripada empat kepada enam lorong dengan kos RM525 juta secara berfasa.
Agenda digital. Rakyat berhak mendapat kemudahan internet yang stabil.
Kerajaan akan mempercepat pelaksanaan projek JENDELA sebagai usaha nasional menyediakan kemudahan jaringan internet. Bagi tahun 2023, RM725 juta disediakan.
RM725 juta disediakan bagi melaksanakan ketersambungan digital di 47 kawasan perindustrian dan hampir 3,700 buah sekolah di negara kita. Pentadbiran lalu telah menerajui inisiatif 5G melalui Digital Nasional Berhad (DNB) dengan begitu gigih sekali.
Pada akhir tahun 2022, DNB telah mencapai 50 peratus liputan kawasan berpenduduk dan disasarkan akan mencapai 80 peratus liputan menjelang penghujung tahun 2023. Kini, Kerajaan Perpaduan mengambil pendekatan supaya DNB diuruskan dengan lebih telus dan terangkum supaya mencapai penyertaan penuh oleh pihak penyedia perkhidmatan telekomunikasi. Maknanya, ada anjakan daripada pendekatan yang lalu supaya jamin harga yang berpatutan untuk rakyat dan tidak membebankan kewangan negara.
[Tepuk] Kerajaan juga akan mempercepatkan pelaksanaan projek JENDELA bagi usaha nasional menyediakan kemudahan jaringan internet.
Pendigitalan perniagaan. Memperkasa Pusat Ekonomi Digital (PEDi) untuk membantu peniaga kecil dengan pengetahuan ICT dan e-Dagang. Sebanyak RM100 juta ringgit disediakan di bawah Skim Geran Pendigitalan PKS dan penjaja kecil. Geran padanan sehingga RM5,000 akan dibayar kepada PKS dan penjaja kecil termasuk di warung yang melanggan aplikasi pendigitalan perniagaan seperti sistem jualan POS, perakaunan atau pengurusan inventori. Bank Negara Malaysia telah menyediakan pembiayaan sebanyak RM1 bilion untuk membantu PMKS mengautomasikan proses perniagaan dan pendigitalan operasi.
Saya sebut tadi tentang memperkukuh nilai pelaburan terkumpul GLC dan GLIC kerana nilai pelaburan terkumpul syarikat berkaitan kerajaan dianggarkan mencecah RM50 bilion. Maka, harus ada pengawasan yang lebih teliti dan berkesan. Bagi mencontohi kejayaan ini, GLC, antaranya Khazanah dan KWSP akan melabur dalam syarikat-syarikat pemula tempatan yang inovatif dan berpertumbuhan tinggi dengan nilai pelaburan RM1.5 bilion.
Agensi kerajaan terus meningkatkan ruang modal serta menarik minat bakat tempatan dalam sektor berinovasi tinggi. RM40 juta disediakan di bawah Malaysia Co- investment Fund (MyCIF) sebagai dana padanan yang menyokong kaedah pendanaan alternatif. Suruhanjaya Sekuriti memudahkan lebih banyak pasaran kedua bagi instrumen pasaran swasta untuk meningkatkan kecairan dan membolehkan penemuan harga yang lebih baik.
Tanggungjawab sosial korporat. Syarikat-syarikat GLC dan GLIC turut menyumbang kepada pelaksanaan pelbagai program untuk kesejahteraan rakyat dan negara. Sumbangan sosial korporat sehingga RM250 juta bagi menumpukan usaha membantu golongan rakyat termiskin termasuk komuniti miskin bandar bagi meningkatkan mutu kehidupan.
Selain daripada itu, dalam memelihara warisan negara, satu perkembangan yang membanggakan ialah Khazanah Nasional Berhad menerajui pembentukan Tabung Warisan Negara untuk menarik penyertaan swasta memulihkan bangunan warisan bersejarah termasuk Bangunan Sultan Abdul Samad dan Carcosa Sri Negara dengan kerjasama syarikat ThinkCity.
Dato' Seri Anwar bin Ibrahim
ThinkCity juga akan bekerjasama dengan DBKL untuk mengambil bahagian dalam usaha memaknakan semula kehidupan di pusat bandar melalui projek pengindahan lokasi tumpuan serta mengangkat potensi aset bersejarah dan kebudayaan.
Dato' Seri Anwar bin Ibrahim
Sebanyak RM30 juta disediakan untuk meningkatkan daya huni perumahan awam di Kuala Lumpur.
[Tepuk] Terkait hal yang sama, kerajaan juga akan menyalurkan peruntukan RM50 juta kepada negeri Melaka dan Pulau Pinang untuk terus kekal memelihara tapak warisan dunia yang diiktiraf oleh UNESCO.
Keadilan sosial untuk menyederhanakan kesenjangan. Negara ini mendambakan Malaysia yang saling menghormati dan saling mengasihi. Ihsan dan rahmah itu mesti tertegak melalui aspek keadilan sosial bagi menjamin kesejahteraan semua rakyat. Maka, saya ingin mengusulkan sesuatu yang drastik pada tahun ini, iaitu tahun 2023 adalah tahun kita menoktahkan miskin tegar...
[Tepuk] yang berjumlah 130,000 orang rakyat yang susah tanpa mengira latar belakang, kawasan dan negeri.
Maka dengan pendekatan ini kita akan mencatat untuk tahun ini kemiskinan tegar sifar yang serius. Tidak unjuran untuk lima tahun atau 10 tahun tetapi menetapkan juga dengan penyelarasan Kementerian Ekonomi, badan-badan yang boleh menentukan jumlah daripada 130,000 ini yang dikenal pasti supaya tidak tertekan dan kembali jatuh ke peringkat kemiskinan tegar tahun berikutnya.
Kerajaan melaksanakan Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) yang akan menumpukan kepada pengupayaan golongan miskin untuk meningkatkan potensi pendapatan. Senyak RM750 juta diperuntukkan dan disediakan untuk tahun 2023 kepada Kementerian Ekonomi bagi menjayakan IPR. Ini harus diselaraskan dengan semua jabatan, kementerian yang diperuntukkan dana untuk maksud ini. Apa juga jenis bantuan kemiskinan mesti dengan upaya menyelesaikan masalah kemiskinan tegar supaya kita tercatat antara negara pertama yang boleh benar-benar serius menyelamatkan rakyat daripada belenggu kemiskinan tegar.
Bantuan dan kemudahan kepada peserta tidak lagi diberikan sekali gus tetapi secara bulanan untuk memastikan mereka menambah hasil dan berupaya bebas daripada belenggu kemiskinan.
Program ini menyasarkan untuk peserta meraih pendapatan antara RM2,000 hingga RM2,500 dalam tempoh pemantauan 24 bulan dan selepas itu dapat menjana pendapatan sendiri melalui hasil yang diperolehi termasuk melalui TEKUN dan lain-lain.
Terkait hal yang sama, kerajaan kini membayar bantuan kebajikan bernilai RM2.5 bilion kepada lebih 400,000 penerima. Bagi menyegerakan data dikemaskinikan dan memastikan tiada lagi yang tercicir daripada menerima bantuan, ini akan diselaraskan oleh ICU dan JKM di bawah satu pangkalan data.
Kita juga menyambut baik usaha Kerajaan Persekutuan, kedua-dua Yang Amat Berhormat Premier Sarawak dan Yang Amat Berhormat Ketua Menteri Sabah yang telah bersetuju untuk meneruskan program yang sedia ada tetapi ditambah untuk menumpukan dan menggunakan hasil bayaran petroleum Sarawak dan Sabah untuk tujuan pembasmian kemiskinan tegar.
Selaras dengan itu, Kementerian Kewangan juga akan memastikan peruntukkan Wang Ehsan Kelantan dan Terengganu supaya disalurkan secara langsung untuk membantu rakyat miskin tegar.
[Tepuk] Menyokong hasrat yang sama, kerajaan menyediakan RM30 juta untuk menyokong usaha yang dibuat oleh UNDP dan Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia yakni bagi memperbanyak aktiviti berkaitan Matlamat Pembangunan Lestari atau Sustainable Development Goals (SDG). Sebanyak RM10 juta bagi menggerakkan Program Kebun Komuniti di peringkat Parlimen.
Sejak awal mengemudi pentadbiran negara, isu utama yang diberikan perhatian ialah kos sara hidup. Kerajaan tahun ini menyediakan sehingga RM64 bilion dalam bentuk subsidi, bantuan serta insentif. Sejumlah besar dana ini adalah untuk meminimumkan kos sara hidup melalui kawalan harga barang, bantuan kewangan dan memberi perkhidmatan kepada rakyat terbanyak. Kementerian-kementerian berkenaan harus pastikan; RM64 bilion ini bukan jumlah yang kecil, tetapi dipastikan pelaksanaan berkesan dan mengelakkan daripada berlaku ketirisan supaya diangkat martabat rakyat.
[Tepuk]
Dato' Seri Anwar bin Ibrahim
Konsep Payung Rahmah telah diperkenalkan sebagai induk kepada usaha membantu golongan susah dan rentan. Salah satunya ialah inisiatif Menu Rahmah yang menganjurkan jualan set hidangan pada harga RM5. Alhamdulillah, Menu Rahmah ini dijangka akan terus menerima sambutan yang baik. Saya ucap terima kasih kepada peniaga, penjaja, pekerja warung, restoran kecil...
[Tepuk] yang mencatat untung kecil tetapi sanggup membantu rakyat susah.
[Tepuk] Ini berbeda dengan orang-orang senang yang sama ada sinis terhadap usaha yang sedemikian ataupun mencatatkan keuntungan besar tetapi sukar untuk memberikan layanan yang setimpal kepada golongan yang miskin.
Maka melalui Jualan Rahmah yang menawarkan barangan asas dengan harga sehingga 30 peratus lebih murah berbanding pasaran tentunya akan mengawal kos sara hidup. Kerajaan menyediakan RM100 juta untuk menjayakan program Jualan Rahmah di setiap kawasan Parlimen.
[Tepuk] Kerajaan juga akan meningkatkan peruntukan daripada RM200 juta kepada RM225 juta bagi memperluas program pengedaran barangan keperluan asas ke 25 buah kawasan baharu, antaranya di Paloh dan Passin, Sarawak; Pasir Raja, Terengganu; dan Kuala Krai, Kelantan.
Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 1 untuk B40. Isi rumah berpendapatan kurang RM2,500 layak terima sumbangan sehingga RM2,500 bergantung kepada bilangan anak. Kerajaan juga akan memberi sumbangan tambahan RM600 kepada isi rumah penerima STR termiskin mengikut data e-Kasih. Ini bermakna, keluarga dalam kumpulan miskin tegar layak terima sumbangan sehingga maksimum RM3,100.
[Tepuk] STR akan membantu meringankan beban sara hidup hampir sembilan juta orang penerima dengan peruntukan disediakan hampir RM8 bilion. Kita tawarkan kredit e-Tunai Belia Rahmah khusus kepada dua juta orang belia antara 18 tahun hingga 20 tahun...
[Tepuk] dengan peruntukan RM400 juta. Cabaran kita dan agensi-agensi terkait adalah bagaimana kita hendak pastikan jumlah ini sampai terus kepada golongan sasar dan tidak tercicir dan tiris.
Bagi pesawah padi; penyaluran subsidi, insentif seperti harga padi, baja padi dan padi huma berjumlah RM1.6 bilion, diteruskan.
[Tepuk] Sumbangan tunai diberikan kepada pesawah padi sebanyak RM200 sebulan untuk tempoh tiga bulan atau semusim melibatkan 240,000 pesawah dengan peruntukan RM228 juta. Sebelum ini, saya telah menyampaikan pandangan dan penghargaan kepada BERNAS kerana menyediakan dana RM60 juta kepada pesawah. Ini maknanya, kalau kita berunding dengan syarikat- syarikat besar ini, menggunakan dana mereka untuk sampai kepada rakyat dan tidak mengambil komisen untuk diri kita, ia lebih mudah dalam rundingan.
Ini saya sudah tengok; pertamanya, kita minta RM60 juta sekali gus diberikan.
Sejumlah RM50 juta dan RM10 juta di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan. Keduanya, saya ingin umumkan, bahawa saya telah berunding dengan BERNAS. BERNAS bersetuju membuat perkongsian keuntungan. Ini setelah 30 tahun BERNAS − tidak ada usaha sedemikian.
Dato' Seri Anwar bin Ibrahim
Hari ini saya hendak umumkan BERNAS bersetuju membuat perkongsian keuntungan daripada import beras dengan menyumbang sebanyak 30 peratus keuntungan bersih kepada pesawah padi.
[Tepuk] Tuan Yang di-Pertua, inilah sebabnya mengapa saya kata, ketelusan, mengelak ketirisan, mengelak daripada rasuah dan penggolongan kekayaan akan memberi manfaat secara langsung kepada rakyat.
[Tepuk] Pekebun kecil getah. Kita mesti tingkatkan pendapatan minimum penoreh getah, maka kerajaan bersetuju untuk menaikkan Paras Harga Pengaktifan Insentif Pengeluaran Getah daripada RM2.50 sekilogram kepada RM2.70 sekilogram dengan peruntukan sebanyak RM350 juta. Saya minta Lembaga Getah Malaysia dan badan-badan terkait untuk memudahkan cara menyalurkan dana ini.
[Tepuk]
Dato' Seri Anwar bin Ibrahim
Saya pernah ke Pedu di negeri Kedah dan dimaklumkan oleh petani, hendak ambil beberapa jumlah entah RM100 hingga RM200, dia kena ambil cuti sehari, dia kena menyewa van untuk ke Alor Setar dan balik dan semua ini sudah mengambil sebanyak 60 peratus daripada sumbangan.
Oleh yang demikian, arahan telah dikeluarkan supaya badan-badan seperti LGM, RISDA dan lain yang harus menyalurkan mesti turun ke kampung dan sampaikan langsung kepada pekebun-pekebun kecil getah.
[Tepuk] Untuk musim tengkujuh kebanyakan di Kelantan dan Terengganu, kita setuju supaya sumbangan musim tengkujuh dinaikkan daripada RM600 kepada RM800 untuk tempoh empat bulan. Untuk pekebun kecil tadi saya sebut, ini akan membantu seramai 320,000 orang pekebun kecil.
[Tepuk] Bagi meningkatkan permintaan getah sekali gus menambah pendapatan pekebun kecil, kerajaan akan menyediakan sebanyak RM50 juta untuk menggunakan cup lump modified bitumen (CMB) bagi penyelenggaraan jalan. Ini kaedah penggunaan getah untuk jalan.
Pendapatan boleh guna M40. Ini Tuan Yang di-Pertua, orang pendapatan menengah dan M40 selalu meresah, golongan T20 sudah kaya raya, tidak perlu bantuan.
Golongan B40, kerajaan bagi tumpuan, apa nasib golongan M40? Jadi, saya berterima kasih dan hargai kesabaran mereka selama ini, walaupun terhimpit dengan kenaikan kos sara hidup yang mencengkam, sukacita diumumkan kerajaan bersetuju menambah pendapatan boleh guna M40 melalui pengurangan kadar cukai pendapatan individu [Tepuk] dan saya percaya ini akan memberikan lebih banyak keselesaan. Ini kerana, sebanyak dua peratus yang melibatkan anggaran sekitar RM35,000 hingga RM100,000 untuk melegakan tekanan hidup golongan menengah tadi.
[Tepuk] Pengurangan ini memberikan insya-Allah seramai 2.4 juta orang pembayar cukai dengan lebihan pendapatan boleh guna sehingga RM1,300 setahun. Jadi, saya ingat keresahan M40 telah dijawab, apabila keadaan ekonomi itu lebih ampuh.
Sementara itu, M40 mendapat manfaat juga daripada pengurangan kadar cukai, kerajaan akan menaikkan kadar cukai bagi mereka yang berpendapatan tinggi. Baik, kalau kita turun cukai untuk golongan B40 tidak ada cukai, kita turunkan cukai untuk golongan M40, dari mana hasil yang boleh diperolehi, maka kita cadangkan supaya kadar cukai bagi mereka yang berpendapatan tinggi, termasuk beberapa orang Ahli Parlimen itu akan dinaikkan di antara 0.5 peratus sehingga dua peratus. Ini melibatkan setiap banjaran pendapatan lebih RM100,000 hingga RM1 juta.
Namun, kurang daripada 150,000 orang pembayar cukai akan dikenakan cukai yang lebih tinggi. Maknanya jumlah ini kecil, cuma mereka ini termasuk dalam kalangan maha kaya, kita naikkan sedikit supaya jangan kelihatan membebankan. Mereka juga harus pikul tanggungjawab, kerana kalau kurangkan beban bagi orang miskin dan miskin tegar, maka orang yang maha kaya patutlah memberikan sedikit sumbangan bagi maksud tersebut. Ini dianggap percukaian lebih progresif. Melalui pendekatan ini, langkah ini melibatkan pengurangan hasil bersih kerajaan untuk M40, kita kurangkan hasil sebanyak RM900 juta.
[Tepuk] Keterjaminan makanan dalam mendepani tentangan kenaikan harga barang dan gangguan bekalan makanan sektor agrimakanan perlu dirombak dengan mengutamakan kemandirian pengeluaran makanan tempatan melalui automasi dan pendigitalan.
Bank Negara Malaysia umpamanya menyediakan dana sebanyak RM1 bilion melalui Skim Pembiayaan Agro Food. Dari sudut latihan dan bimbingan, MDEC akan memperluas penganjuran program Digital AgTech untuk melatih lebih ramai pekebun kecil beradaptasi dengan teknologi. Inisiatif ini dianggarkan dapat memanfaatkan sebanyak 100 buah Pertubuhan Peladang kawasan seluruh negara dengan peruntukan sebanyak RM10 juta.
Bagi meningkatkan kecekapan penggunaan teknologi dalam sektor pertanian, kerajaan bercadang untuk memberi elaun modal dipercepatkan dan pengecualian cukai pendapatan sebanyak 100 peratus ke atas perbelanjaan modal.
Dato' Seri Anwar bin Ibrahim
Bagi memastikan bekalan makanan pada harga berpatutan, pengeluaran makanan perlu ditingkatkan supaya berskala besar dan berdaya saing. Melalui sokongan kerajaan, syarikat Farm Fresh telah muncul sebagai pengeluar susu segar utama di Malaysia. Oleh itu, kerajaan akan menggalakkan pelaburan swasta berasaskan pertanian berskala besar, antara lain melalui penyediaan insentif, tanah, pembiayaan dan geran teknologi.
Hanya 1.2 juta hektar tanah negara dimanfaatkan untuk tujuan tanaman makanan berbanding sebanyak tujuh juta hektar tanah bagi tanaman kelapa sawit dan getah.
Kerajaan oleh itu bercadang supaya FELDA, FELCRA, RISDA dan agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dan Kementerian Wilayah dan Desa menyuburkan tanah-tanah terbiar milik mereka dengan keluasan lebih 800 ekar untuk projek tanaman makanan.
Kementerian Pertahanan dan LTAT berserta syarikat-syarikat lain akan melaksanakan projek peningkatan pertanian bijirin jagung domestik selain untuk meningkatkan keterjaminan makanan, malah memberi peluang pekerjaan kepada veteran tentera. LTAT menyediakan sebanyak 70 ekar tanah perladangan untuk melaksanakan projek tersebut.
Sebanyak RM30 juta untuk kerjasama dengan beberapa kerajaan negeri bagi melaksanakan projek-projek agromakanan supaya ada hubungan langsung di antara syarikat dengan kerajaan negeri.
Menjamin keharmonian perpaduan. Perpaduan dan keharmonian harus sentiasa dipelihara tidak kira wilayah mahupun kaum. Perpaduan merupakan teras penting dan utuh terutamanya dalam usaha kita merungkai isu-isu pokok yang merudum negara. Kita tidak cuba untuk menerapkan kebijakan yang separuh masak atau memihak kelompok elit, tetapi kita harus memastikan ia dirasai segenap rakyat.
Suka saya ingatkan, hubaya tidak ada lagi pihak yang cuba menangguk di air yang keruh dengan mengapi-apikan perbezaan kaum dan warna kulit.
[Tepuk] Negara ini akan tegas menghadapi kelompok-kelompok pelampau, sama ada memainkan sentimen kaum dan agama yang boleh memecahbelahkan perpaduan rakyat.
[Tepuk] Akan tetapi, kita ambil pendekatan yang positif dan akan mengajak semua pihak, semua kerajaan negeri dan semua syarikat, semua parti untuk bersama, untuk menggerakkan pelbagai program antara ‘Kembara Perpaduan Malaysia Madani’ dan ‘Ini Warisan Kita’ yang dikendalikan oleh Kementerian Perpaduan Negara.
[Tepuk]
Dato' Seri Anwar bin Ibrahim
Sebanyak RM20 juta melaksanakan program gotong-royong sekolah-sekolah seluruh Malaysia, yang mesti melibatkan semua kaum. Melainkan daerah-daerah di mana tidak ada kaum yang hanya mungkin melibatkan satu kaum sama ada Dayak di Sarawak atau Melayu di Kelantan, itu kita berikan sedikit kelonggaran.
Sebanyak RM50 juta turut disediakan bagi penyelenggaraan dan baik pulih rumah ibadat bukan Islam seluruh negara.
[Dewan tepuk]
Dato' Seri Anwar bin Ibrahim
Negeri Sabah dan Sarawak terus meraih manfaat besar kerana ketinggalan berapa lama dan oleh itu peruntukan bagi Sabah ada sebanyak RM6.5 bilion dan Sarawak RM5.6 bilion.
Ini adalah untuk beberapa program khusus membangunkan bandar-bandar bersempadan dengan Kalimantan, Indonesia seperti Kalabakan, Sabah dan Ba'kelalan, Sarawak dengan kos RM1 bilion sebagai langkah menyambung perpindahan ibu negara Indonesia ke Kalimantan. Selain itu, lebih RM2.5 bilion disediakan bagi melaksanakan projek-projek melibatkan prasarana awam yang kebanyakannya untuk manfaat Sabah dan Sarawak melibatkan projek jalan dan lampu jalan serta bekalan air dan elektrik.
Kerajaan komited meneruskan dan menyegerakan pelaksanaan Lebuhraya Pan Borneo Sabah dan Sarawak-Sabah Link Road yang dianggarkan melibatkan kos keseluruhannya RM20 bilion dengan jajaran lebih daripada 1,000 kilometer. TPM II diamanahkan untuk menyelenggarakan ini kerana kita tidak mahu kisah Pan Borneo
Dato' Seri Anwar bin Ibrahim
Highway ini diceritakan dalam setiap belanjawan sehingga hampir 20 tahun.
[Ketawa] Jadi, kita mahu menyelenggarakan supaya projek ini dapat diselesaikan dalam masa yang terdekat. Saya juga telah umumkan projek-projek untuk Sabah dan Sarawak yang mencecah sebanyak RM50 juta dikendalikan sendiri oleh Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak.
[Tepuk] Keselamatan dalam negeri dan pertahanan, masing-masing peruntukan RM18.5 bilion dan RM17.7 bilion. Menyelenggarakan dan membeli aset Angkatan Tentera Malaysia bagi meningkatkan kesiapsiagaan pertahanan dan peruntukan hampir RM4.1 bilion. Menghentikan amalan-amalan lama seperti mana skandal LCS yang berlarutan
[Dewan tepuk]
Dato' Seri Anwar bin Ibrahim
dan menumpukan perhatian bagi mengukuhkan keupayaan tahap pertahanan dan kawalan maritim negara, kerajaan melaksanakan perolehan littoral mission ship pada tahun ini yang sangat dituntut oleh Kementerian Pertahanan.
Agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan disediakan hampir RM1 bilion memperkasakan keselamatan dalam negeri antaranya untuk memperoleh lebih 2,100 unit kamera badan PDRM. Sebuah Ibu Pejabat Kontinjen Perak dan kuarters polis baharu akan dibina dengan kos RM450 juta ringgit. Saya kira hampir di Tambun tetapi lama sebelum saya menjadi Ahli Parlimen di sana.
[Dewan ketawa]
Dato' Seri Anwar bin Ibrahim
Jangan saya disalahkan. Kerajaan akan menambah 42 pos kawalan sempadan polis PGA, imigresen, ESSCOM dan APMM bagi memperketat kawalan sempadan negara selain menyelenggarakan semua kapal dan bot APMM.
Kebajikan angkatan bersenjata harus dipelihara. Maka, lebih RM500 juta disediakan untuk menyelenggarakan Rumah Keluarga Angkatan Tentera yang lapuk dan membaik pulih kuarters kediaman dan institusi di bawah KDN termasuk perumahan Penjara Sungai Buloh.
Bagi membantu pemilikan rumah mampu milik bagi ATM secara berfasa, kerajaan akan membina lebih 7,000 unit rumah mampu milik di bawah Program Satu Anggota Satu Rumah (SASaR) di Kuala Lumpur.
[Dewan tepuk]
Dato' Seri Anwar bin Ibrahim
Menurut peraturan semasa, anggota yang meninggalkan perkhidmatan atau bersara tidak berpencen perlu membuat penyelesaian penuh baki pembiayaan LPPSA.
Mengambil kira keresahan dan beban yang perlu ditanggung, kerajaan bersetuju supaya LPPSA menawarkan peluang untuk anggota meneruskan bayaran balik baki pinjaman seperti biasa sehingga selesai dan tidak dihentikan sepertimana yang berlaku sekarang. Usaha ini membolehkan seramai 4,000 orang peminjam LPPSA menstrukturkan semula pembiayaan mereka dan 700 orang peminjam bakal bersara tidak berpencen setiap tahun dapat meneruskan bayaran balik pinjaman seperti biasa.
Veteran ATM menghadapi kesukaran mendapatkan pekerjaan. Bagaimanakah kita jamin mereka memperoleh pekerjaan? Maka, kita akan menyediakan apa yang disebut sebagai Program Kerjaya Kedua Veteran ATM menerusi kerjasama LTAT.
Seramai 5,000 orang veteran ATM yang berpencen pada tahun ini akan dijamin, dipadankan dengan peluang kerajaan atau menerima latihan kemahiran untuk meningkat peluang menjana pendapatan.
[Dewan tepuk]
Dato' Seri Anwar bin Ibrahim
Untuk meningkatkan kemahiran seramai 1,250 orang veteran, Jabatan Hal Ehwal Veteran bersama agensi kerajaan lain menawarkan lima bidang kursus antaranya pengendalian dron, keselamatan siber dan penyelenggaraan pesawat selama tiga bulan.
Syiar Islam. Kerajaan telah menyediakan peruntukan berkaitan hal ehwal Islam berjumlah RM1.5 bilion dan kita mahu institusi Islam dalam negara madani ini menjadi contoh terbaik dalam kecekapan pentadbiran. Pengurusan mereka harus lebih cekap dan menjadi contoh bagi semua jabatan dan kementerian lainnya.
Gedung ini mesti menjadi markas dakwah yang berkesan yang boleh meningkatkan kefahaman sebenar mengenai Islam. Saya juga faham peranan besar yang dimainkan oleh imam dan bilal, guru-guru dalam mengimarahkan fungsi masjid sepertimana firman Allah SWT.
[Membaca sepotong ayat Al-Quran] Jangan ikut macam Ketua Pembangkang.
[Dewan ketawa]
Dato' Seri Anwar bin Ibrahim
Ini mengimarahkan masjid.
Dato' Seri Anwar bin Ibrahim
Maka, mengenai menghargai jasa dan keringat mereka, kerajaan bersetuju menaikkan elaun bagi 35,000 guru KAFA— menaikkan menjadi RM1,100 dengan peruntukan tambahan lebih RM40 juta. Memberikan sumbangan khas sebanyak RM600 kepada imam, bilal, tok siak, noja, marbut, guru KAFA dan guru takmir. Seramai 70,000 orang akan menerima sumbangan ini melibatkan peruntukan lebih RM40 juta. Saya sebutkan dalam konteks ayat Al-Quran tadi supaya masjid itu diimarahkan, dijadikan tempat untuk melatih, memberi penerangan dan meningkatkan kefahaman Islam kepada rakyat.
Sukan dan budaya penting dalam pembangunan aspek kerohanian masyarakat.
Selain bentuk pertandingan, ia juga satu wahana yang ampuh dalam menyemarakkan ‘kebhinekaan’ dalam kalangan rakyat yang rencam kaum dan agama. Pentadbiran akan menumpukan program perpaduan yang berlandaskan penerapan nilai murni antara kaum.
Diberikan kepada program sukan, kebudayaan dan kesenian di peringkat sekolah dan komuniti dan belia bagi memastikan penglibatan belia dan semua jenis sekolah secara silang budaya. Sebanyak RM20 juta disediakan bagi maksud tersebut. Kerajaan akan menyediakan dana geran padanan RM50 juta bagi mendorong penajaan sektor swasta untuk program sukan, khususnya sukan berteraskan perpaduan.
Berhubung atlet sukan negara, kerajaan akan terus menambah baik program latihan dan kemudahan sukan untuk manfaat semua atlet termasuk atlet para melalui penyediaan dana berjumlah RM324 juta. Ini membangunkan ekosistem sukan yang menyeluruh daripada pencarian bakat sehingga ke acara podium, serta untuk tujuan penyelenggaraan dan menaik taraf kemudahan sukan di seluruh negara. Potongan cukai sehingga 10 peratus daripada pendapatan agregat diberi kepada individu atau syarikat yang menyumbang kepada organisasi bukan berasaskan keuntungan yang melaksanakan program pembangunan sukan di peringkat akar umbi.
Bagi memelihara dan melindungi kebajikan para atlet, RM5 juta disediakan kepada Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) bermula tahun 2023 dan potongan cukai kepada majikan yang menggaji bekas atlet negara. Dengan ini kita dapat menjamin semua bekas atlet itu diberikan keutamaan dan mendapat pekerjaan yang setimpal.
Kerajaan juga mendukung usaha penggiat seni kreatif bagi mengangkat bidang kesenian dan kebudayaan. Sebanyak RM102 juta disediakan sebagai dana kandungan digital untuk mempergiat pemasaran produk seni tempatan dan mendorong penghasilan karya-karya kreatif.
Dato' Seri Anwar bin Ibrahim
Kerajaan bercadang agar sumbangan kepada Tabung Komuniti Filem, Pembangunan Filem Kenegaraan di bawah FINAS akan diberi potongan cukai. Kerajaan menyediakan dana RM25 juta bagi menyemarakkan kegiatan kebudayaan dan kesenian di peringkat komuniti.
Pemerkasaan budaya dimulai dengan budaya Iqra’ bagi memupuk minat membaca karya-karya klasik dan agung yang melibatkan khazanah alam Melayu, dunia Islam dan Barat. Kerajaan menyokong usaha menyubur dan menterjemah karya-karya agung seperti karya Imam Al-Ghazali, penggagas Maqasid Syariah Abu Ishaq al-Shatibi, Syeikh Daud Abdullah al-Fatani, Nuruddin Ali ar-Raniri, pemikir, sasterawan dan filasuf Muhammad Iqbal dan lain-lain.
Dewan Bahasa dan Pustaka bersama dengan Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) dan Yayasan Karyawan diberi mandat mempergiat aktiviti terjemahan.
Aktiviti penerbitan bermutu tinggi oleh penulis tempatan juga akan ditingkatkan.
[Tepuk] RM20 juta ringgit disediakan untuk maksud tersebut.
Pada 27 Januari yang lalu, saya telah umumkan bahawa kita akan mencetak sebanyak sejuta naskhah Al-Quran sebagai simbolik penuh hikmah dan matang bagi menjawab serangan purbasangka dan biadab terhadap Islam.
[Tepuk] Termasuk kejadian pembakaran kitab suci Al-Quran di Sweden baru-baru ini.
Dato' Seri Anwar bin Ibrahim
Untuk tujuan ini, RM10 juta ringgit akan disumbangkan kepada Yayasan Restu bagi pengedaran-pengedaran segera cetakan 20,000 naskhah terjemahan Al-Quran dalam bahasa Sweden serta bahasa asing utama dunia. Markas Islam Sweden telah mengirim kepada saya naskhah terjemahan Al-Quran dalam bahasa Sweden. Saya telah bagi jaminan kepada mereka kita akan cetak 20,000 untuk diedarkan ke seluruh negara Sweden. Ini sahaja cara kita menjawab mereka kerana, pertamanya biadab dan keduanya ‘jahil murakap’. Maka bagi yang mahu memahami dan menolak Islamofobia ini, kita beri ruang untuk mereka membaca dan menilai.
[Tepuk] Kita juga berusaha untuk menyediakan keperluan asas berkualiti. Pemberian kepada kerajaan negeri berdasarkan Tahap Pembangunan Ekonomi, Infrastruktur dan Kesejahteraan Hidup (TAHAP). Maka tahun ini, kerajaan menaikkan pemberian TAHAP kepada kerajaan-kerajaan negeri kepada RM400 juta ringgit berbanding RM330 juta tahun lalu. Pemberian ini membantu terutamanya bagi faedah untuk Perlis dan Kedah.
Terkait hal ini, saya ingin menyentuh perihal peruntukan Ahli Parlimen tatkala ada segelintir pihak yang cuba mempertikaikan mengapa perlu mengurangkan peruntukan Ahli Parlimen yang dikurangkan ialah projek rakyat termasuk di kawasan berkenaan.
Selain itu, saya bersedia mendengar keluhan dan akan berbincang sebelum kita rumuskan perdebatan nanti. Jadi, mohon sabar dan melihat kepada keupayaan kita. Saya tahu, tidak ada satu tepukan untuk ini.
[Tepuk] [Ketawa] Pengangkutan, pengangkutan rel dan bas di bawah Prasarana . Kerajaan meneruskan inisiatif pas bulanan My50 dan tahniah kepada Kementerian Pengangkutan kerana ia memberi manfaat kepada 180,000 pengguna.
[Tepuk] Secara rintis memperkenalkan Pas Perjalanan Tanpa Had, myBAS50 untuk manfaat rakyat Johor Bahru yang menggunakan perkhidmatan bas henti-henti di bawah Program SBST. RM180 juta Program SBST termasuk keluasan pelaksanaan program ke Bandar Melaka, Kuching dan Kota Kinabalu.
Projek Mass Rapid Transit 3 (MRT3). Pada asalnya tahun 2018 projek ini dianggarkan melibatkan kos RM68 bilion. Tahun lalu, proses perolehan projek dimulakan melalui tender, dan kos turun RM50 bilion. Kerajaan kini akan mengkaji semula perincian projek ini untuk memastikan nilai terbaik dan yakin akan mencapai penjimatan tambahan sekurang-kurangnya di bawah RM45 bilion sebelum dilaksanakan.
Perkhidmatan udara, pedalaman Sabah dan Sarawak terutamanya. Sebanyak RM209 juta bagi mensubsidi pengangkutan udara Sabah dan Sarawak. Kemudahan wheelchair ramp, lapangan terbang Sabah dan Sarawak juga akan disediakan.
Saya tinggalkan pendidikan walaupun ia antara program utama dalam Belanjawan Madani. Ini kerana, Pendeta Za’ba secara tuntas mencerakinkan dengan tepat bahawa ketandusan nasib bangsa dalam soal kemiskinan dikategorikan kepada empat iaitu:
(i) kemiskinan akal budi;
(ii) harta benda;
(iii) cita-cita; dan
(iv) ilmu pengetahuan.
Teras itu harus ditumpukan dalam melaksanakan program pendidikan yang mendapat peruntukan yang tinggi melebihi dari tahun 2022 iaitu sebanyak RM55.2 bilion.
RM2.3 bilion untuk infrastruktur, naik taraf bangunan serta infrastruktur di 380 buah sekolah yang telah diumumkan. Kerja-kerja menyelenggarakan kemudahan semua jenis sekolah merangkumi semua sekolah kebangsaan, sekolah agama, sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil.
Sekolah yang mempunyai murid berkeperluan khas akan dilengkapkan dengan kemudahan mesra OKU dan membina dewan terbuka bagi menyediakan keselesaan anak-anak berhimpun. Ada tambahan sekolah-sekolah baharu yang besar− mencecah hampir setengah bilion ringgit keseluruhannya termasuk Sekolah Kebangsaan Paya Dusun di Terengganu, Sekolah Menengah Kebangsaan Denai Alam di Selangor, Sekolah
Dato' Seri Anwar bin Ibrahim
Menengah Kebangsaan Nabalu di Sabah dan Sekolah Menengah Kebangsaan Dudong di Sarawak.
Makanan berkhasiat kepada murid-murid bagi Rancangan Makanan Tambahan
(RMT) ditambah kepada RM777 juta yang memanfaatkan 700,000 pelajar.
[Tepuk] RM108 juta bagi Program Makanan Prasekolah dengan manfaat kepada 240,000 murid prasekolah KPM.
Peranan guru adalah penting mendidik dan memanusiakan anak-anak. Selaras dengan arus pemodenan, keperluan pengajaran dan pembelajaran guru perlu segera beradaptasi dengan teknologi digital. Bagi tahun 2023, kerajaan akan membekalkan sekolah dan institusi pendidikan KPM dengan 50 ribu komputer riba.
Saya telah memberitahu kepada Menteri Pendidikan kita tidak mahu ulangi, umum dan komputer tidak sampai. Komputer semuanya mesti sampai sebelum suku ketiga tahun ini.
[Tepuk] Kalau tidak sampai Yang Berhormat Menteri kena jawab. Mutu Pendidikan harus penting dan Yang Berhormat Menteri Pendidikan dan Kementerian Pendidikan telah diperingatkan untuk menilai beberapa kajian tentang kelemahan sistem pendidikan.
Dahulu laporan tentang ‘A Nation at Risk: The Imperative for Educational Reform’.
Kalau Amerika Syarikat yang mempunyai institusi cemerlang menganggap negara mereka itu perlu reform kerana risiko negara kerana kelemahan sistem pendidikan, Malaysia lebih lagi. Cuma Malaysia harus juga melihat seperti mana yang dikupas oleh Henry Miller, “Excellence Without a Soul”. Jadi kita mahu kedua-duanya excellence dalam pendidikan dan juga jiwa, hati nurani dan soal nilai dalam kalangan pelajar-pelajar.
Kementerian Pendidikan Tinggi akan diperuntukkan RM15.3 bilion tambahan daripada RM14.5 bilion tahun 2022. RM436 juta membaik pulih infrastruktur menggantikan peralatan usang. RM35 juta dana meningkatkan kesalinghubungan Internet di Institusi Pendidikan Tinggi Malaysia di bawah Program Malaysian Research & Education Network (MYREN). R&D dengan RM428 juta.
Berkait tentang pinjaman PTPTN, kerajaan bersetuju untuk memberikan diskaun bayaran balik pinjaman PTPTN selama tiga bulan bermula 1 Mac 2023 sehingga 20 peratus.
[Tepuk]
Dato' Seri Anwar bin Ibrahim
Bagi meringankan beban kewangan peminjam yang terkesan, kerajaan bersetuju untuk memberikan penangguhan bayaran balik kepada peminjam berpendapatan bulanan RM1,800 ke bawah untuk enam bulan peringkat awal. Permohonan penangguhan ini boleh dibuat mulai 1 Mac 2023, memberi ruang kepada mereka sehingga mendapatkan pekerjaan yang lumayan.
Kesihatan menerima peruntukan kedua terbesar iaitu sebanyak RM36.3 bilion, penambahan yang paling besar, ketimbang RM32.4 bilion tahun lalu. Komponen utama peruntukan ini melibatkan keperluan perolehan ubat-ubatan, reagent, vaksin dan bahan guna habis termasuk peruntukan RM3 bilion bagi lantikan baharu secara tetap dan kontrak lebih 1,500 pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi yang menunggu sekian lama.
[Tepuk] Kesesakan kemudahan kesihatan kerajaan akan cuba diperbaiki termasuk melalui menyumber luar pesakit daripada hospital yang sesak kepada hospital lain dan juga mengadakan beberapa skim termasuk hospital universiti, hospital tentera yang dipersetujui akan diberikan kelengkapan untuk membantu kesesakan hospital seperti Hospital Selayang.
Kerajaan akan memperkenalkan Skim Perubatan Madani khusus untuk golongan miskin mendapatkan rawatan kesihatan di klinik dan Pengamal Perubatan Am Swasta
(GP) sepertimana yang dilaksanakan Kerajaan Selangor. RM120 juta disediakan untuk tujuan ini, memudahkan rakyat sampai ke GP, tak perlu pergi ke hospital untuk penyakit- penyakit yang ringan yang boleh dikendalikan oleh GP.
Dato' Seri Anwar bin Ibrahim
Hospital kebajikan yang berdaftar sebagai Syarikat Berhad Menurut Jaminan diberi pengecualian cukai pendapatan bersamaan amaun perbelanjaan kebajikan.
Kerajaan akan membina blok wanita dan kanak-kanak dengan kapasiti 476 katil dengan kos hampir RM700 juta di Hospital Melaka.
Kerajaan juga akan memulakan kerja awalan menaik taraf sebanyak 26 buah hospital termasuk pembesaran Hospital Kuala Kangsar, Jelebu, dan Hospital Pontian yang telah berusia hampir seabad.
Tahun 2019, kerajaan memperkenalkan Skim Peduli Kesihatan (PEKA B40).
Mulai tahun taksiran 2023, had pelepasan cukai ke atas perbelanjaan rawatan perubatan dinaikkan daripada RM8,000 ke RM10,000. Ini termasuk pemulihan gangguan perkembangan saraf seperti Autisme, Down Syndrome dan Specific Learning Disabilities. Perumahan. Program Perumahan Rakyat (PPR) ditingkatkan. Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan disediakan peruntukan RM50 juta bagi memastikan keadaan yang selamat di PPR dengan keutamaan kepada lif-lif yang telah usang.
Pembaikan lif ditingkatkan kepada RM1.2 juta kerana jumlah RM500,000 yang diperuntukkan sebelumnya itu tidak mencukupi.
Sebanyak RM15 juta disediakan untuk menyokong usaha NGO mengadakan kelas pemulihan untuk anak-anak yang masih tercicir dalam pembelajaran.
Selain itu, RM30 juta untuk aktiviti ekonomi rakyat seperti Cloud Kitchen di bawah Yayasan Hasanah.
Kerajaan juga akan menyediakan capaian internet percuma di 56 PPR terpilih untuk manfaat komuniti setempat.
Perlindungan Sosial. Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri secara berperingkat akan ditingkatkan.
Kerajaan akan menanggung 80 peratus daripada nilai caruman PERKESO bagi mengurangkan bebanan dan menggalakkan pekerja sendiri membuat caruman dalam Skim Pekerjaan Sendiri PERKESO. RM100 juta disediakan untuk memanfaatkan golongan yang bekerja sendiri.
Selain itu, skop pelepasan cukai bagi premium insurans nyawa dan caruman takaful hayat untuk meliputi caruman sukarela kepada KWSP sehingga RM3,000.
Kerajaan menyokong peningkatan pegangan ekuiti dalam kalangan bumiputera.
Jumlah had pelaburan individu Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan Amanah Saham Bumiputera 2 (ASB2) akan ditingkatkan kepada RM300,000 berbanding RM200,000 sebelum ini. Pentadbiran ini juga bersetuju untuk meningkatkan saiz dana Amanah Saham Malaysia (ASM) sebanyak RM5 bilion.
Berhubung isu simpanan KWSP. Rakyat terpaksa beberapa kali mengorbankan simpanan hari tua mereka, tatkala berdepan dengan musibah pandemik COVID-19. Kini setelah rakyat beransur bangkit untuk membina semula kehidupan, kebanyakan rakyat menggunakan pendapatan yang diterima untuk menyara kehidupan sementara simpanan hari tua masih rendah.
Kerajaan beriltizam untuk membantu rakyat membina semula simpanan persaraan mereka bagi memastikan simpanan yang ada kelak mencukupi untuk membiayai hari persaraan.
Kepada ahli yang berumur antara 40 hingga 54 tahun dengan simpanan KWSP kurang RM10,000 di dalam Akaun 1 mereka, kerajaan bersetuju untuk menambah, membantu mereka dengan caruman simpanan KWSP Akaun 1 sebanyak ‘RM500 juta’ kepada kelompok ini.
[Tepuk] Program ini akan memberi manfaat kepada hampir 2 juta ahli KWSP melibatkan peruntukan hampir RM1 bilion.
Tuan Yang di-Pertua
RM500.
Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim
RM500 juta.
Tuan Yang di-Pertua
RM500 ya.
Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim
Maaf, maaf. RM500.
[Dewan ketawa]
Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim
Terima kasih, terima kasih. Ia dah dua jam saya.
Pada masa yang sama, kerajaan berharap rakyat yang mempunyai simpanan persaraan yang mencukupi akan terus menyumbang supaya semua lapisan pencarum mendapat manfaat. Saya tekankan begini, kita boleh mengeluarkan dalam keadaan terdesak. Kalau kerajaan memberikan ‘RM500 juta’ kepada golongan kategori bawah yang miskin, kemudian golongan kaya dibenarkan keluarkan wang mereka, dividen orang miskin yang ramai itu akan terjejas. Jadi kita kena buat pilihan di sini. Kalau buat kenyataan popular itu tak detailed, itu masalahnya. Tarik wang KWSP daripada kalangan orang kaya, bermakna dividen orang miskin yang kerajaan dah tampung tambahan ‘RM500 juta’ itu akan berkurangan.
Seorang Ahli
RM500.
Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim
RM500.
[Dewan ketawa]
Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim
Baik. Jadi ini keputusan yang sangat penting. Baru-baru ini saya umumkan tentang kehebatan, pengorbanan SMART, NADMA, ATM yang telah ke Turkiye, sebagai contoh. Kita hadapi masalah sikit untuk sampai ke Syria. Jadi kerana mengenang jasa mereka yang bekerja, kita akan pastikan jumlah bantuan elaun khas RM100 setiap hari mereka bertugas dan ada yang dua minggu, ada yang satu bulan.
Saudara-saudari, untuk menghadapi Ramadhan Mubarak Ramadhan Kareem, kita juga kenang jasa dan pengorbanan penjawat awam. Maka untuk memastikan Aidilfitri itu disambut dengan perbanyakkan amal dan bermunajat kepada Allah SWT dan meringankan beban mereka, kerajaan bersetuju untuk menyalurkan Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri sebanyak RM700 kepada semua penjawat awam Gred 56 ke bawah termasuk lantikan kontrak selain RM350 juga akan disalurkan kepada pesara kerajaan.
[Tepuk] Tuan Yang di-Pertua, saya ingin akhiri dengan menyatakan penghargaan ke seluruh pasukan Kerajaan Perpaduan yang membantu menggariskan, melaksanakan program-program. Pertama, daripada segi tata kelola dan tadbir urus yang harus dilakukan anjakan. Kedua, menumpukan perhatian dalam menjana pertumbuhan yang boleh kita harapkan dan dapat tingkatkan untuk masa akan datang.
Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim
Saya akan mendengar pandangan rakan-rakan di mana penyesuaian boleh dilakukan, kita akan mengambil kira untuk bersama-sama memanfaatkan kemudahan yang ada dan meningkatkan pembangunan dan pertumbuhan ekonomi kita. Terima kasih.
[Tepuk]
[Dewan riuh]
Tuan Loke Siew Fook - Seremban
Tuan Yang di-Pertua, saya mohon menyokong.
Dato’ Seri Dr. Shahidan bin Kassim - Arau
Bangun, bangun. Peruntukan Parlimen Yang Berhormat lupa.
[Dewan riuh]
Tuan Yang di-Pertua
Terima kasih kerana sokongan. Silakan. Setiausaha .
Menteri Kewangan - Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim
Tuan Yang di-Pertua, saya mohon mencadangkan bahawa Usul di atas nama saya di dalam Aturan Urusan Mesyuarat yang berbunyi; “Bahawa Dewan ini, mengikut subseksyen 4(3) Akta Kumpulan Wang Pembangunan 1966 [Akta 406], membuat ketetapan iaitu suatu jumlah wang sebanyak tidak lebih dari sembilan puluh sembilan bilion ringgit (RM99,000,000,000) dibelanjakan daripada Kumpulan Wang Pembangunan bagi tahun 2023, dan bagi tujuan dan butiran Perbelanjaan Pembangunan yang dinyatakan di bawah Maksud Pembangunan atau (“P”) dalam senarai Anggaran Perbelanjaan Persekutuan 2023, yang dibentangkan sebagai Kertas Perintah 19 Tahun 2023, adalah diuntukkan di bawah Maksud-maksud yang berkenaan jumlah-jumlah bersetentangan dengan butiran-butiran itu di ruangan enam dan tujuh senarai tersebut dan bahawa Usul yang telah diluluskan oleh Dewan ini pada 20 Disember 2022 mengenai perbelanjaan yang dibelanjakan daripada Kumpulan Wang Pembangunan bagi tahun kewangan 2023 adalah dibatalkan dan hendaklah disahkan diserahkan kepada Jawatankuasa sebuah-buah Majlis.”
Tuan Yang di-Pertua
Ada yang menyokong?
Tuan Loke Siew Fook - Seremban
Tuan Yang di-Pertua, saya mohon menyokong.
Tuan Yang di-Pertua
Terima kasih. Ahli-ahli Yang Berhormat, mengikut Peraturan Mesyuarat 66(3), perbahasan di atas usul-usul bagi Bacaan Kali Yang Kedua atas Rang Undang-undang Perbekalan 2023 dan Usul Anggaran Perbelanjaan Pembangunan tahun 2023, hendaklah ditangguhkan kepada suatu tarikh yang tidak kurang daripada dua hari, setelah usul-usul tersebut dicadangkan dan disokong.
Ahli-ahli Yang Berhormat, QR Code teks ucapan perbelanjaan 2023 oleh Yang Amat Berhormat Menteri Kewangan telah diletakkan di atas meja dan juga turut dimasukkan ke dalam laptop Ahli-ahli Yang Berhormat. Ahli Yang Berhormat boleh mendapatkan teks ucapan tersebut dengan mengimbas ataupun scan QR Code tersebut.
Dengan demikian Yang Berhormat, Dewan hari ini ditangguhkan sehingga jam 10 pagi hari Isnin, 27 Februari 2023. Sekian, assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
[Dewan ditangguhkan pada pukul 6.14 petang]