Katalog Hansard
[Tuan Yang di-Pertua **mempengerusikan Mesyuarat****]
Tuan Yang di-Pertua
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Salam sejahtera dan selamat petang. Yang Berhormat Menteri Kewangan dipersilakan.
Menteri Kewangan - Datuk Seri Utama Tengku Zafrul bin Tengku Abdul Aziz
Tuan Yang di-Pertua, saya mohon mencadangkan supaya rang undang- undang bernama “Suatu Akta bagi menggunakan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Disatukan untuk perkhidmatan bagi tahun 2023 dan bagi memperuntukkan jumlah wang itu untuk perkhidmatan bagi tahun itu” dibaca bagi kali kedua sekarang.
Tuan Yang di-Pertua
Silakan Yang Berhormat.
Datuk Seri Utama Tengku Zafrul bin Tengku Abdul Aziz
Bismillahi Rahmani Rahim. Berpegang teguh pada janji Allah Yang Maha Esa dan pada setiap usaha yang dibina, moga-moga ini adalah yang terbaik untuk Malaysia.
Tuan Yang di-Pertua
Amin.
Datuk Seri Utama Tengku Zafrul bin Tengku Abdul Aziz
Sesungguhnya hanya Allah pemilik segala kurnia lagi sebaik-baik perancang. Tuan Yang di-Pertua, Ahli-ahli Dewan yang mulia serta buat kerabat Keluarga Malaysia di seluruh negara yang sedang tekun mengikuti pembentangan ini, Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh salam sejahtera, salam kemakmuran untuk semua, salam Keluarga Malaysia.
Pada nyaman suasana petang, berdiri saya di sini adalah untuk melunaskan amanah besar yang digalas Kementerian Kewangan sekian lama. Betapalah besar amanah itu, besar juga usahanya. Maka, dalam merencana belanjawan negara buat tahun yang mendatang, pasukan Kementerian Kewangan telah menjelajah serata pelosok negara mengadakan lebih 200 sesi libat urus dengan industri dan pemegang taruh. Mengkaji lebih 250 memorandum serta 12,000 cadangan awam.
Datuk Seri Utama Tengku Zafrul bin Tengku Abdul Aziz
Syahadan, terhasilnya satu dokumen yang natijahnya lengkap lagi tuntas.
Tuntas mewadahi cetusan hati sanubari pelbagai lapisan ‘syarikat’ – rakyat. [Dewan riuh]. Tuntas mencakupi keperluan pembangunan berterusan negara dan tuntas memastikan benteng-benteng ekonomi yang ampuh, menghadapi kemungkinan persekitaran global bilamana geloranya menghempas persisiran pasaran negara kita.
Ini adalah natijah siap siaga kita, Ini adalah Bajet 2023. Tuan Yang di-Pertua, sekalipun COVID-19 masih belum reda, dunia telah pun keluar daripada lesu sementara. Malaysia sudah pun bergerak di fasa peralihan ke endemik. Walau betapa deras samudera yang telah ditempuh, hakikatnya; *Kerajaan ini meneliti dan merancang teliti, Dari PKP, berhati-hati dibuka semula ekonomi, Dari sepi, kita kembali beraktiviti, Warga diberi berjenis bantuan, Peniaga diberi segala kemudahan, Industri diberi pelbagai sokongan.
Bahawa kerajaan inilah, Kerajaan Keluarga Malaysia.* Di bawah nakhoda Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Kerajaan Keluarga Malaysia telah berjaya mengemudi negara ke landasan pemulihan ekonomi yang kukuh. Namun, masih ada yang mencanangkan kegusaran dan menyebar khabar berniat mencetuskan kebimbangan. Sememangnya diakui, situasi ekonomi global masih perlukan kita sentiasa berwaspada. Kemungkinan pergolakan dalam geopolitik dunia dan penurunan pertumbuhan ekonomi dunia pastinya menuntut setiap negara bukan sahaja Malaysia untuk bersedia anjal menghadapi sebarang kemungkinan. Maka, marilah kita nilaikan beberapa petunjuk dan angka berkenaan situasi ekonomi negara.
Bermula dengan penguncupan 4.5 peratus pada suku ketiga 2021, ekonomi negara telah kembali berkembang 3.6 peratus bagi suku keempat 2021, terus mengukuhkan lima peratus pada suku pertama 2022 dan kini melonjak 8.9 peratus bagi suku kedua 2022. Pertumbuhan suku kedua tahun ini merupakan pencapaian terbaik di Asia Tenggara.
Momentum pertumbuhan ekonomi dijangka berterusan malah lebih mengukuh bagi suku ketiga 2022. Insya-Allah ekonomi negara dijangka berkembang lebih baik daripada unjuran Mac lalu antara 5.3 peratus hingga 6.3 peratus dengan indikator ekonomi yang terus menyokong trend pertumbuhan, kerajaan menyemak semula unjuran KDNK 2022 kepada antara 6.5 peratus hingga 7 peratus.
Pemulihan tahun 2022 bukanlah semata-mata tentang KDNK sahaja, malah kehidupan rakyat juga telah bertambah baik. Kadar pengangguran telah menurun untuk 12 bulan berturut-turut iaitu daripada 4.8 peratus pada Julai 2021, menurun kepada 3.7 peratus pada Julai 2022. Dengan hanya setahun, kerajaan berjaya kembalikan pasaran buruh ke tahap guna tenaga penuh.
Keyakinan pengguna juga telah kembali pulih apabila nilai jualan dagangan borong dan runcit bagi Julai 2022 telah melonjak kepada 41 peratus berbanding Julai 2021. Bagi tujuh bulan pertama, nilai keseluruhan perdagangan borong dan runcit
Datuk Seri Utama Tengku Zafrul bin Tengku Abdul Aziz
mencecah RM882 bilion iaitu 20 peratus lebih tinggi berbanding tempoh sama pada tahun 2021.
Pun begitu, pemulihan ekonomi yang terus mengukuh ini tetap tidak terkecuali daripada berdepan ketidaktentuan. Ekoran perkembangan global, kadar inflasi negara telah meningkat daripada 2.3 peratus pada Januari 2022 kepada 4.7 peratus pada Ogos 2022. Jika tidak kerana bantuan dan subsidi kerajaan sebanyak RM77.7 bilion, kadar inflasi Malaysia sepatutnya akan lebih tinggi dan boleh mencecah sehingga 10 peratus.
Datuk Seri Utama Tengku Zafrul bin Tengku Abdul Aziz
Ekoran kadar inflasi tinggi yang dihadapi negara-negara lain terutamanya Amerika Syarikat yang mencecah lapan peratus, dasar monetari mereka telah diketatkan secara agresif dengan kadar faedah dinaikkan sebanyak 300 mata asas tahun ini. Ini bermakna dengan trend negara-negara asing mengetatkan dasar monetari mereka, dijangkakan dunia bakal menghadapi kelembapan ekonomi menjelang tahun 2023.
Tuan Yang di-Pertua, tinjauan ekonomi dunia bagi tahun 2023 akan semakin tidak menentu dan mencabar susulan konflik geopolitik, tekanan inflasi global, dasar monetari yang mengetat dan prospek pertumbuhan ekonomi yang lemah. Pada Januari 2022, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mengunjurkan kadar pertumbuhan ekonomi dunia 2023 pada kadar 3.8 peratus. Namun pada Julai yang lepas IMF telah menyemak semula unjuran 2023 kepada 2.9 peratus.
Sebagai sebuah negara yang mengamalkan ekonomi terbuka, Malaysia tidak boleh lari daripada tempias perkembangan global yang kian mencabar. Maka, kadar pertumbuhan ekonomi negara bagi tahun 2023 dijangka menyerdehana iaitu antara empat peratus hingga lima peratus.
Sebagai Keluarga Malaysia kita perlu bergerak untuk mendepani setiap cabaran global yang mendatang dan pada masa yang sama bertanggungjawab membina masa depan yang cerah buat anak-anak generasi legasi. Maka, bagi ke arah Malaysia yang lebih baik, Bajet 2023 akan dipandu oleh 3R dengan izin;
(i) responsif (responsive);
(ii) bertanggungjawab (responsible) dan;
(iii) reformis (reformist).
Bajet 2023 akan segera responsif kepada sebarang cabaran dan menyedia bantuan yang komprehensif kepada Keluarga Malaysia bukan sekadar kumpulan B40 tetapi juga M40, wanita, belia, OKU dan semua segmen masyarakat.
Bajet 2023 bertanggungjawab untuk mengimbangi dasar fiskal yang mengembang dengan melaksanakan pembaharuan fiskal ke arah kemampanan kewangan kerajaan dalam jangka panjang. Bajet ini bertanggungjawab membina daya tahan negara bagi mendepani sebarang krisis yang mendatang.
Bajet 2023 adalah reformis yang mengambil peluang mengubah landskap pembangunan negara agar lebih inklusif dan mampan di samping membina industri negara yang kukuh melalui pelaburan strategik.
Tuan Yang di-Pertua, dalam mendapatkan input Bajet 2023 kerajaan telah mengeluarkan kenyataan Pra-Bajet 2023 dan menerbitkan enam kertas konsultasi awam serta pelbagai sesi libat urus. Terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri yang turut bersama-sama sejak awal perancangan dan memuktamadkan hala tuju Bajet 2023.
Bajet ini tidaklah dirangka untuk golongan tertentu sahaja tetapi kesemua buah fikir yang dikumpul telah diteliti dan diadun menjadi satu iaitu sebuah Bajet 2023
Datuk Seri Utama Tengku Zafrul bin Tengku Abdul Aziz
hasil ilham Keluarga Malaysia. Lebih 100 inisiatif rakyat akan direalisasi sebagai sebahagian usaha holistik yang terkandung di dalam naskhah besar ini. Terima kasih diucapkan kepada semua yang menzahirkan segala idea dan pandangan.
Dengan tekad: “Keluarga Malaysia: Makmur Bersama” dan seiring agenda Bajet 2023 yang responsif, bertanggungjawab dan reformis, bajet ini akan pastikan kesejahteraan rakyat, kelangsungan perniagaan, kemakmuran ekonomi dan kecekapan perkhidmatan kerajaan.
Tuan Yang di-Pertua, dalam memastikan agenda Bajet 2023 yang responsif, kerajaan akan terus melaksanakan dasar fiskal yang mengembang. Pendekatan ini penting bagi menyediakan bantuan sewajarnya kepada rakyat dan menyokong perniagaan. Bajet 2023 yang tiada seumpamanya akan memperuntukkan sejumlah RM372.3 bilion. Ini merupakan peningkatan yang ketara berbanding peruntukan Bajet 2022 sebanyak RM332 bilion dan Bajet 2021 berjumlah RM322 bilion.
Dicadangkan bajet ini menyediakan RM272.3 bilion bagi belanja mengurus, RM95 bilion untuk belanja pembangunan dan RM5 bilion di bawah Kumpulan Wang COVID-19. Sejumlah RM2 bilion disediakan sebagai simpanan luar jangka.
Berbekalkan ruang fiskal yang ada ini, keutamaan Bajet 2023 akan tertumpu kepada usaha melindungi kebajikan rakyat. Jabatan Kebajikan Masyarakat telah menyediakan pelbagai bantuan bulanan kepada golongan miskin seperti Bantuan Warga Emas, Bantuan Kanak-kanak serta Bantuan Penjagaan OKU dan Pesakit Kronik terlantar.
Semasa pembentangan Bajet 2022, saya telah mengumumkan komitmen yang meluaskan syarat kelayakan penerima bantuan kebajikan selaras dengan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) Makanan 2019 iaitu RM1,169. Dengan keputusan ini, lebih 450,000 isi rumah layak menerima bantuan bulanan JKM. Nasib golongan susah telah diberi keutamaan khusus dengan peruntukan RM2.5 bilion bagi tahun 2023 iaitu peningkatan signifikan berbanding RM1.5 bilion pada tahun 2020.
Sebelum ini kerajaan telah memberi subsidi bil elektrik sehingga RM40 kepada isi rumah miskin tegar di bawah senarai eKasih. Bermula tahun 2023, pemberian subsidi bil elektrik sehingga RM40 akan diperluas mengikut PGK makanan iaitu isi rumah berpendapatan RM1,169 ke bawah berbanding syarat semasa iaitu RM980 ke bawah. Saya berharap perluasan syarat penerima bantuan mengikut PGK makanan ini memberi manfaat kepada lebih ramai rakyat insya-Allah.
Tuan Yang di-Pertua, menyedari manfaat yang diraih daripada pemberian bantuan tunai langsung, pelaksanaan Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) akan terus ditambah baik. Dengan itu, untuk tahun hadapan isi rumah berpendapatan bulanan kurang RM2,500 dan menanggung lima orang anak atau lebih layak menerima BKM sebanyak RM2,500.
[Tepuk] Ini ialah kategori baharu sebagai usaha kerajaan meringankan beban keluarga yang menyara ramai anak. Bagi isi rumah sehingga empat orang anak pula akan layak menerima BKM antara RM1,000 hingga RM2,000.
Kepada isi rumah berpendapatan RM2,500 hingga RM5,000 BKM yang disediakan adalah antara RM500 hingga RM1,250 bergantung kepada bilangan anak. Kepada warga emas, tiada pasangan serta golongan bujang pula mereka akan terus menerima BKM masing-masing sebanyak RM600 dan RM350 bergantung kepada had pendapatan tertentu.
Tahun 2023 bantuan tambahan RM500 kepada ibu atau bapa tunggal yang mempunyai anak tanggungan akan diteruskan. Ini bermakna ibu atau bapa tunggal layak menerima bantuan maksimum sehingga RM3,000. Kadar BKM maksimum ini meningkat berbanding RM2,500 tahun ini.
Datuk Seri Utama Tengku Zafrul bin Tengku Abdul Aziz
Misalnya, pasangan Firdaus dan Nor Aliza daripada Pasir Gudang yang mempunyai lima orang cahaya mata telah menerima BKM sebanyak RM2,000 tahun ini. Tahun hadapan mereka layak menerima BKM RM2,500. Ling Mee Hoon pula seorang ibu tunggal dari Sitiawan yang membesarkan tiga orang anak mendapat BKM RM1,300 tahun ini dan layak menerima RM1,500 pada tahun 2023.
Bantuan Keluarga Malaysia 2023 akan memberi manfaat kepada 8.7 juta orang penerima, peruntukannya RM7.8 bilion. BKM 2023 adalah bantuan komprehensif yang ditambah baik dengan ketara jika dibandingkan Bantuan Sara Hidup 2020 dengan lima juta penerima dengan peruntukan RM5 bilion.
Atas keprihatinan kerajaan kepada golongan susah dan B40, bantuan tunai di bawah JKM dan BKM untuk tahun 2023 akan melebihi RM10 bilion. Diharap bantuan ini dapat menghela nafas lega para penerima dan digunakan sebaiknya mengikut keperluan masing-masing.
Mengambil ibrah firman Allah SWT dalam surah Ar-Ra’ad ayat 11, “Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum melainkan kaum itu sendiri yang mengubah apa yang ada pada diri mereka”. Sungguhpun bantuan tunai adalah amat penting untuk kegunaan masa sekarang tetapi hanya dengan pendapatan tetap sahaja yang boleh mengubah isi rumah ke arah kehidupan yang lebih selesa.
Kerajaan berhasrat untuk membasmi kemiskinan tegar menjelang 2025. Ini akan ditangani secara holistik melalui pendekatan whole-of-nation. Program Pembasmian Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia telah dimulakan pada tahun ini dengan peruntukan hanya RM150 juta. Untuk tahun 2023 bagi menyegerakan agenda membasmi kemiskinan tegar, RM1 bilion disediakan iaitu RM750 juta peruntukan kerajaan di samping program tanggungjawab sosial korporat oleh GLC bernilai RM250 juta.
Program ini akan menyediakan peluang ekonomi kepada lebih 50,000 isi rumah miskin tegar bagi meningkatkan pendapatannya. Antaranya menerusi projek pertanian serta keusahawanan produk dan perkhidmatan. Bantuan yang diberikan termasuklah latihan, modal permulaan, insentif pertanian, pemasaran dan pendigitalan. Diharapkan usaha ini dapat meningkatkan pendapatan isi rumah miskin tegar supaya melepasi pendapatan garis kemiskinan makanan.
Tuan Yang di-Pertua, kerajaan ini tidak pernah melupakan isi rumah kumpulan pertengahan. Kerajaan sentiasa berusaha untuk menambah pendapatan boleh guna yang boleh dimanfaatkan oleh golongan M40. Kepada hampir 1 juta pembayar cukai, kerajaan ingin maklumkan satu khabar gembira. Sukacita diumumkan kadar cukai pendapatan individu bermastautin dikurangkan dua mata peratusan bagi banjaran pendapatan bercukai antara lebih RM50,000 sehingga RM100,000 iaitu;
(i) banjaran pendapatan bercukai lebih RM50,000 hingga RM70,000, kadarnya diturunkan daripada 13 peratus kepada 11 peratus; dan
(ii) banjaran pendapatan bercukai lebih RM70,000 hingga RM100,000 kadarnya diturunkan daripada 21 peratus kepada 19 peratus*.
[Tepuk]*
Datuk Seri Utama Tengku Zafrul bin Tengku Abdul Aziz
Pada masa yang sama, banjaran pendapatan bercukai lebih RM250,000 sehingga RM400,000 akan digabungkan dengan banjaran lebih RM400,000 sehingga RM600,000 dan dikenakan kadar cukai 25 peratus.
Datuk Seri Utama Tengku Zafrul bin Tengku Abdul Aziz
Dengan layanan khas cukai pendapatan ini, penjimatan cukai kepada kumpulan pertengahan adalah sehingga RM1,000 dan untuk kumpulan teratas adalah sehingga RM250. Ini bermakna, dianggarkan RM800 juta tersedia sebagai lebihan pendapatan yang boleh dibelanjakan oleh rakyat.
Bagi membudayakan pembayaran tanpa tunai (cashless), inisiatif e-Pemula M40 akan dilaksanakan iaitu tawaran kredit e-dompet sebanyak RM100 kepada kumpulan M40 berpendapatan tahunan di bawah pendapatan RM100,000.
Dianggarkan, seramai lapan orang individu layak menuntut kredit dengan peruntukan disediakan RM800 juta.
Tuan Yang di-Pertua, wanita ialah anugerah. Mereka bukan sahaja membina keluarga sakinah malah turut segandingan memakmurkan negara. Bagi memastikan dasar yang direncanakan mengambil kira kepentingan gender, Gender Focal Team akan diwujudkan di setiap kementerian dan agensi.
[Tepuk] Kita semua di dalam Dewan yang mulia ini telah menjadi saksi kepada lulusnya Rang Undang-undang Antigangguan Seksual 2021. Komitmen tegas ini adalah untuk menoktahkan segala bentuk gangguan seksual di samping meningkatkan kesedaran semua agar tindakan ini tidak lagi dinormalisasi. Bagi menzahirkan usaha ini, Tribunal Antigangguan Seksual akan ditubuhkan pada tahun 2023.
Bagi menangani isu kesihatan mental dan keganasan rumah tangga, Pusat Sokongan Sosial Setempat akan diperkukuh. Sejumlah RM8 juta disediakan untuk pusat ini berperanan sebagai lokasi intervensi awal serta sesi advokasi psikososial dan kaunseling. Kerajaan juga akan terus bekerjasama dengan NGO dan pusat perlindungan seperti P.S. The Children untuk memberikan sokongan kepada mangsa.
Berdasarkan Laporan Pendaftaran Kanser Kebangsaan 2012-2016, kanser payudara merupakan bentuk kanser utama dalam kalangan wanita yang menyumbang kepada satu pertiga daripada jumlah kes. Tahun hadapan, kerajaan akan memperbanyakkan ujian saringan melalui subsidi ujian mamogram dan program saringan kanser serviks kepada kaum wanita dengan peruntukan RM11 juta. Pelaksanaan saringan kanser serviks juga akan diperintiskan menggunakan kaedah baharu ujian saringan PCR yang telah dipelopori oleh Yayasan ROSE dengan kerjasama Universiti Malaya dan Universiti Malaysia Sarawak.
Tuan Yang di-Pertua, saya sempat berjumpa dengan Puan Padzilah Sulaiman, pengasas telekung Siti Khadijah dan tertarik dengan kejayaannya. Beliau pada tahun 2009 mula menjual telekung rekaannya secara kecil-kecilan di Sungai Merab, Bangi. Atas tekad meningkatkan kapasiti perniagaan, beliau memanfaatkan pelbagai kemudahan kerajaan yang tersedia. Kini beliau memiliki lebih 40 buah butik di Malaysia dan Indonesia.
Maka, bagi mendorong lebih ramai wanita meningkatkan kapasiti perniagaan dan menambah baik strategi pemasaran, sejumlah RM235 juta dana pembiayaan tersedia khas untuk wanita di bawah Skim Semarak-Nita BSN, Tekunita TEKUN, DanaNITA MARA dan Biz Lady Bank Rakyat.
Setakat Oktober 2022, wanita memegang 29 peratus daripada komposisi ahli lembaga pengarah bagi 100 syarikat senarai awam utama dan kesemua 100 syarikat ini mempunyai sekurang-kurangnya seorang wanita sebagai ahli lembaga pengarah mereka.
Bagi terus memperkasakan peranan wanita di peringkat kepimpinan korporat, Suruhanjaya Sekuriti akan memperkenalkan program latihan khas untuk meningkatkan kemahiran wanita mengenal pasti dan seterusnya menambah bilangan wanita yang layak untuk dilantik sebagai ahli lembaga pengarah. Saya
Datuk Seri Utama Tengku Zafrul bin Tengku Abdul Aziz
percaya parti-parti politik pun sedang giat mengenal pasti serta berazam untuk mencalonkan lebih ramai wakil rakyat wanita untuk PRU akan datang.
[Tepuk] Akhir sekali, bagi menggalakkan lebih ramai wanita kembali bekerja setelah mengambil tempoh career break, kerajaan bercadang untuk mengecualikan cukai pendapatan ke atas pendapatan yang diterima mulai taksiran 2023 hingga taksiran 2028.
Tuan Yang di-Pertua, aspek kebajikan kanak-kanak akan terus dititikberatkan. Kerajaan menyediakan RM188 juta bagi program pendidikan awal kanak-kanak di bawah Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS). Ini termasuk pembinaan 10 buah taska KEMAS termasuk tiga projek baharu di Port Dickson, Negeri Sembilan, Limbang, Sarawak dan Pasir Puteh, Kelantan.
Seperti yang telah diumumkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, elaun pembantu KEMAS sukarela akan dinaikkan mulai tahun 2023.
Bagi meringankan beban kewangan ibu bapa yang memberikan pendidikan awal anak-anak, kerajaan bersetuju melanjutkan sehingga tahun taksiran 2024, pelepasan cukai sehingga RM3,000 ke atas bayaran yuran TASKA dan TADIKA yang berdaftar.
Menurut Jabatan Perangkaan, kadar fertiliti negara pada 1970 ialah 4.9 orang bayi untuk setiap wanita. Namun, kini telah jatuh ke tahap terendah iaitu 1.7 orang bayi. Sementara itu, kanak-kanak daripada keluarga susah khususnya, berdepan dengan masalah malpemakanan sehingga mengganggu tumbesaran mereka lebih- lebih lagi sejak COVID-19 melanda.
Bagi meningkatkan kadar kelahiran dan dalam masa yang sama mengurangkan masalah kanak-kanak bantut, di bawah inisiatif CahayaMata Keluarga Malaysia, ibu daripada isi rumah penerima BKM yang melahirkan anak pada tahun 2023 akan diberikan bantuan tunai secara one-off sebanyak RM500...
[Tepuk] dengan peruntukan RM150 juta. Jadi saya rasa, masih sempatlah lagi untuk ambil peluang mendapatkan zuriat pada tahun hadapan. Akan tetapi, kenalah ingat bahawa bantuan hanyalah kepada ibu dan bukan kepada bapa.
[Ketawa] Tuan Yang di-Pertua, golongan belia mewakili lebih seperempat populasi negara. Sememangnya, pada tangan-tangan merekalah yang menentukan lakaran wajah masa depan negara. Elok acuan kita, moleklah peribadi mereka.
Sungguhpun negara berjaya mencapai tahap guna tenaga penuh tetapi kadar pengangguran bagi mereka di bawah 25 tahun, termasuk lepasan sekolah dan institut pengajian tinggi masih berada pada tahap 11 peratus pada suku kedua 2022.
Hal ini akan terus diberikan perhatian.
Bagi memastikan anak muda diberikan akses pekerjaan sewajarnya, kerajaan akan menyediakan insentif penggajian di bawah PERKESO kepada majikan yang menggaji belia berumur 18 sehingga 30 tahun yang menganggur lebih daripada tiga bulan. Selain itu, insentif ini turut dipanjangkan kepada majikan yang mengambil graduan TVET.
Malaysia sememangnya telah melahirkan ramai anak muda yang berjaya dalam perniagaan. Ini termasuklah Arun Prasanth, usahawan muda yang mengusahakan khidmat pembersihan rumah dan pejabat sejak 2018. Melalui pinjaman di bawah BSN Mikro Belia sebanyak RM20,000, kini purata jualan tahunan beliau telah mencecah RM200,000.
Bagi menggalakkan lebih ramai anak muda ini berniaga, sejumlah RM305 juta tersedia sebagai kemudahan pinjaman khusus untuk belia melalui SME Bank, TEKUN, MARA, BSN dan Agrobank. Antaranya, Skim Penjaja Muda Keluarga Malaysia di bawah BSN dengan dana RM50 juta akan menawarkan pinjaman
Datuk Seri Utama Tengku Zafrul bin Tengku Abdul Aziz
sehingga RM50,000 untuk 10,000 anak muda menjana pendapatan sendiri seperti mengusahakan food truck. Bagi membantu kumpulan B40 khususnya belia menjana pendapatan melalui perkhidmatan membawa penumpang seperti teksi, bas dan e-hailing, kerajaan bersetuju untuk menanggung bayaran bagi mendapatkan lesen teksi, bas dan e- hailing di bawah program MyPSV. Selain itu, kerajaan turut bersetuju menanggung bayaran ujian memandu untuk lesen motosikal kelas B2.
Tidak cukup dengan itu, bagi menggalakkan lagi belia bekerja, Skim TEKUN Belia Mobilepreneur diteruskan dengan RM10 juta bagi membiayai modal anak muda terlibat dalam perkhidmatan penghantaran menggunakan motosikal.
Pakej Remaja Keluarga Malaysia telah membantu belia untuk mendapatkan pakej prabayar dengan tawaran langganan pelan data internet dengan hanya RM30 untuk tempoh tiga bulan. Bagi merapatkan jurang digital dalam kalangan belia di samping melancarkan sesi pembelajaran pelajar, inisiatif ini dilanjutkan sehingga April 2023.
“Melentur buluh biarlah dari rebungnya”. Inisiatif e-Pemula pada tahun ini telah menawarkan kredit e-dompet berjumlah RM150 kepada belia. Atas komitmen Yang Amat Berhormat Perdana Menteri untuk menambah baik program ini, e- Pemula akan diteruskan dengan menaikkan jumlah kredit kepada RM200...
[Tepuk] untuk manfaat dua juta belia daripada 18 sehingga 20 tahun dan pelajar sepenuh masa 21 tahun ke atas dengan peruntukan RM400 juta.
Tuan Yang di-Pertua, dalam memastikan kesejahteraan rakyat yang holistik, agenda perlindungan sosial akan terus diberi perhatian serius. Sewaktu tahun 2020, hanya segelintir gig riders dilindungi dan setelah kerajaan menyumbang kepada caruman, kini lebih 260,000 dilindungi melalui Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) PERKESO.
Bagi mengurangkan bebanan golongan bekerja sendiri membayar caruman PERKESO, kerajaan akan menanggung 80 peratus daripada nilai caruman tersebut.
Ini bermakna, orang bekerja sendiri seperti penghantar makanan, petani, nelayan, penggiat seni FINAS dan penjaja, hanya membayar 20 peratus sahaja. Tahun hadapan, inisiatif ini akan disediakan RM150 juta dan diperluas kepada mereka yang bekerja sendiri seperti pemandu teksi dan pekerja gig sektor teknologi maklumat.
Tahun hadapan, kerajaan akan mula mewajibkan caruman SKSPS kepada semua sektor pekerjaan sendiri terutamanya sektor berisiko tinggi secara berperingkat. Inisiatif ini akan bermula dengan sektor pengangkutan awam dan penghantaran barangan ataupun makanan.
Datuk Seri Utama Tengku Zafrul bin Tengku Abdul Aziz
Melihatkan kepada kepentingan membina simpanan hari tua yang mencukupi, had caruman sukarela KWSP akan dinaikkan daripada RM60,000 kepada RM100,000 setahun. Bagi menggalakkan lagi caruman sukarela, kerajaan juga akan meluaskan skop pelepasan cukai bagi premium insurans nyawa ataupun caruman takaful hayat untuk meliputi caruman sukarela kepada KWSP sehingga RM3,000.
Sukacita juga program i-Saraan akan dilanjutkan untuk tahun 2023 serta ditambah baik dengan meningkatkan caruman padanan daripada RM250 kepada RM300. Dengan peruntukan RM30 juta, inisiatif ini dijangkakan memanfaatkan lebih 100,000 pencarum.
Bagi menghargai sumbangan suri rumah, kerajaan berhasrat untuk melanjutkan program Kasih Suri Keluarga Malaysia untuk tahun 2023 dan memperkasa program ini melalui perlindungan tambahan di bawah skim PERKESO.
Datuk Seri Utama Tengku Zafrul bin Tengku Abdul Aziz
Suri rumah yang membuat caruman KWSP minimum RM60 setahun akan mendapat insentif padanan tambahan kerajaan bernilai sehingga RM600 setahun merangkumi RM480 simpanan KWSP serta RM120 caruman skim PERKESO. Program ini bakal memanfaatkan 200,000 suri rumah dengan sumbangan kerajaan lebih RM120 juta.
Untuk meningkatkan pegangan ekuiti dalam kalangan bumiputera, sukacita diumumkan jumlah had pegangan Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan ASB2 dinaikkan kepada RM300,000 berbanding RM200,000. BSN juga akan menyediakan dana pinjaman mudah untuk membantu B40 bumiputera melabur dalam ASB dengan tawaran pinjaman pada kadar 1.5 peratus melibatkan dana RM100 juta.
Tuan Yang di-Pertua, secara keseluruhan kerajaan memperuntukkan lebih RM55 bilion khusus untuk subsidi, bantuan dan insentif di bawah Bajet 2023. Jumlah dana yang besar ini adalah bagi meminimumkan kos sara hidup antaranya melalui kawalan harga barangan dan perkhidmatan.
Kerajaan komited untuk memastikan barangan keperluan asas seperti beras, minyak masak, gas LPG, petrol dan diesel sampai ke tangan penduduk luar bandar pada harga yang berpatutan. Tahun hadapan RM200 juta disediakan bagi menampung kos pengangkutan dan pengedaran barang perlu. Kerajaan juga akan memperluas manfaat program ke 23 kawasan baharu termasuklah Kampung Passin di Mukah, Sarawak dan Kampung Tawayari di Lahad Datu, Sabah.
Program Jualan Murah Keluarga Malaysia telah dilaksanakan sejak Ogos lalu dan memanfaatkan pengguna melalui tawaran harga barangan keperluan asas sehingga 20 peratus lebih murah berbanding harga pasaran. Sejak dilancarkan, program ini telah diadakan di lebih 500 lokasi dan minggu ini telah dianjurkan di Kanowit, Sarawak. Melihatkan impak positif program ini khususnya buat isi rumah B40, kerajaan komited untuk meneruskan pelaksanaan program ini di seluruh negara meliputi 600 DUN, 13 Parlimen Wilayah Persekutuan dan di universiti awam dengan peruntukan RM100 juta.
Tuan Yang di-Pertua, sejak COVID-19 melanda soal pekerjaan terus menjadi tumpuan utama kerajaan. Tahun 2022, pelbagai inisiatif di bawah Jamin Kerja Keluarga Malaysia telah berjaya menyediakan peluang pekerjaan dan latihan kemahiran kepada lebih 310,000 orang setakat ini. Sungguhpun, kita telah mencapai tahap guna tenaga penuh, namun tumpuan akan tetap diberikan bagi memastikan peluang kerjaya kepada kumpulan tertentu dalam masyarakat.
Tahun hadapan, kerajaan akan meneruskan insentif penggajian di bawah PERKESO bagi menggalakkan majikan menyediakan peluang pekerjaan untuk Keluarga Malaysia yang menganggur daripada golongan seperti OKU, Orang Asli, bekas banduan dan wanita yang kembali bekerja. Untuk ini, Insentif Penggajian antara RM600 hingga RM750 sebulan akan dibayar untuk tempoh tiga bulan kepada majikan.
Insentif juga akan disediakan kepada golongan veteran serta majikan dan agensi pekerjaan swasta yang menggantikan pekerja asing kepada pekerja tempatan. Di bawah insentif penggajian PERKESO ini, sebanyak RM150 juta disediakan dan dijangka dapat membuka peluang kerjaya kepada lebih 70,000 pencari kerja.
Bagi meringankan beban pencari pekerja, sukacita kerajaan melalui PERKESO akan menyediakan bantuan mobiliti sebanyak RM500 kepada pencari pekerja yang mendapat pekerjaan di luar negeri bermastautin. Manakala bantuan mobiliti RM1,000 melibatkan penghijrahan jarak jauh— ini daripada Sarawak atau Sabah ke Semenanjung dan sebaliknya.
Sejak inisiatif MySTEP dilaksanakan, ia telah berjaya menawarkan lebih 118,000 peluang pekerjaan. Kerajaan akan meneruskan pelaksanaan MySTEP
Datuk Seri Utama Tengku Zafrul bin Tengku Abdul Aziz
dengan menawarkan 50,000 peluang kerjaya secara kontrak merangkumi 15,000 dalam sektor awam dan 35,000 melalui GLC. Tempoh perkhidmatan MySTEP sektor awam juga akan dilanjutkan sehingga 31 Disember 2023. Sukacita juga, diumumkan bermula tahun 2023, gaji MySTEP akan dinaikkan sebanyak RM100 iaitu antara RM1,500 hingga RM2,100 berbanding RM1,400 hingga RM2,000.
Keluarga Malaysia akan terus disediakan dengan peluang mengikuti pelbagai program peningkatan kemahiran dan latihan bagi mempersiapkan diri memenuhi kehendak pasaran kerja. HRD Corp akan menyediakan sejumlah RM750 juta untuk memberi latihan kemahiran kepada lebih 800,000 pekerja bagi meningkatkan produktiviti dan peluang pendapatan.
Sebagai usaha melahirkan bakat baharu, Suruhanjaya Sekuriti dengan kerjasama Dana Pembangunan Pasaran Modal akan menubuhkan Dana Inovasi Digital (DIGID) melibatkan RM30 juta bagi meningkatkan kebolehpasaran 9,000 graduan dalam pasaran modal. Selain itu, RM20 juta juga disediakan bagi melaksanakan Program Usahawan Siswazah (PUSh) untuk memanfaatkan 1,000 graduan menceburi bidang keusahawanan.
Tuan Yang di-Pertua, pendidikan ialah pelaburan terbaik bagi membina masa depan negara yang cerah. Kementerian Pendidikan Malaysia akan terus menerima peruntukan terbesar iaitu RM55.6 bilion berbanding RM52.6 bilion.
[Dewan tepuk]
Datuk Seri Utama Tengku Zafrul bin Tengku Abdul Aziz
Bantuan Awal Persekolahan selama ini telah meringankan beban ibu bapa berpendapatan RM3,000 ke bawah untuk menyediakan kelengkapan sekolah anak- anak. Bermula tahun ini, Bantuan Awal Persekolahan (BAP) telah dinaikkan kepada RM150 berbanding RM100.
Bagi tahun hadapan 2023, sukacita diumumkan Bantuan Awal Persekolahan akan diberikan kepada semua murid tanpa mengira had pendapatan ibu bapanya.
Sebagai contoh, jika sebuah keluarga mempunyai tiga orang anak bersekolah, maka mereka layak menerima BAP sebanyak RM450. Insya-Allah, bantuan ini akan disalurkan pada Januari 2023 dan diharap dapat meringankan beban ibu bapa yang menyara anak-anak bersekolah. Peruntukan disediakan untuk BAP ini adalah sebanyak RM825 juta iaitu jauh melebihi peruntukan tahun ini sebanyak RM450 juta.
Rancangan Makanan Tambahan (RMT) telah dilaksanakan sejak tahun 1979, bagi memastikan murid dari keluarga susah mendapat khasiat makanan yang diperlukan. Seperti saya umumkan semasa Bajet 2022, kerajaan telah menambah baik RMT dengan menyediakan bekalan susu pada setiap hari persekolahan anak- anak. Bagi terus menambah baik program ini, kerajaan akan menaikkan kadar makanan bermasak RMT daripada RM2.50 kepada RM3.50 untuk Semenanjung dan RM3 kepada RM4 bagi Sabah, Sarawak dan Labuan. Kenaikan kadar ini akan berkuat kuasa pada bulan ini juga.
Sejumlah RM777 juta disediakan iaitu peningkatan signifikan berbanding RM280 juta pada tahun 2020 atas perluasan penerima kenaikan kadar dan penyediaan bekalan susu setiap hari. Dengan itu, lebih 800,000 murid serta 7,300 pengusaha makanan dan pembekal susu tempatan akan menerima manfaat daripada penambahbaikan ini.
Bagi tahun hadapan, sejumlah RM2.3 bilion diperuntukkan untuk menyediakan ruang pembelajaran yang kondusif dan selamat buat murid-murid sekolah. Ini merupakan peningkatan ketara berbanding peruntukan RM1.7 bilion bagi tahun ini. Daripada jumlah tersebut, RM1.1 bilion disediakan untuk kerja-kerja penyelenggaraan dan pembaikan sekolah merangkumi sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil serta sekolah agama.
Sejumlah RM1.2 bilion pula disediakan untuk menaik taraf infrastruktur sekolah daif terutamanya bagi menggantikan bangunan kayu lama untuk keselesaan khususnya anak-anak di Sabah dan Sarawak dengan melibatkan 123 projek di
Datuk Seri Utama Tengku Zafrul bin Tengku Abdul Aziz
Sabah dan 182 projek di Sarawak. Bagi memenuhi keperluan penduduk setempat, kerajaan pada tahun 2023 akan mula membina lima buah sekolah baharu dengan kos RM430 juta melibatkan SMK Nabalu Sabah, SMK Dudong Sarawak, SK Paya Dusun Terengganu, SK Cyberjaya 2 dan SMK Denai Alam, Selangor.
Tuan Yang di-Pertua, pencapaian pendidikan tinggi negara terus membanggakan pada mata global. Bagi tahun hadapan, Kementerian Pengajian Tinggi akan diperuntukkan sejumlah RM15.1 bilion. Kerajaan komited untuk memastikan anak-anak Keluarga Malaysia meneruskan pengajian hingga ke menara gading. Secara keseluruhan, RM3.8 bilion disediakan sebagai biasiswa dan pinjaman pendidikan bagi manfaat anak bangsa.
Atas keprihatinan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Elaun Sara Hidup bagi pelajar MARA dan PETRONAS telah dinaikkan. Sebagai tambahan, sukacita diumumkan kadar Elaun Sara Hidup tajaan JPA bagi pelajar dan pegawai dalam negara akan diseragamkan dan dinaikkan sebanyak RM100 sebulan bagi semua peringkat pengajian menjadikan Elaun Sara Hidup tajaan JPA antara RM730 hingga RM980 sebulan.
Datuk Seri Utama Tengku Zafrul bin Tengku Abdul Aziz
Kemudahan pendidikan buat anak-anak bumiputera khususnya dari keluarga susah akan terus diberi perhatian. Tahun hadapan, sebahagian besar daripada peruntukan RM6.6 bilion kepada MARA, Yayasan Peneraju dan UiTM adalah untuk menyediakan bumiputera dengan akses pinjaman pendidikan serta peluang mengikuti bidang profesional seperti kejuruteraan. Semasa Jelajah Bajet 2023, saya berpeluang melawat USM untuk melihat sendiri usaha mereka memasang sistem solar fotovolta di 90 lokasi bagi membekalkan tenaga bersih di kampus USM. Maka, kerajaan menyediakan RM10 juta bagi menggalakkan universiti awam membudayakan inisiatif kampus hijau, lebih RM300 juta juga disediakan bagi kerja- kerja menaik taraf dan menyelenggara kemudahan universiti awam.
Seperkara lagi, jaringan digital di gedung-gedung ilmu juga akan terus ditambah baik. Projek Malaysia Research and Education Network (MYREN) di universiti awam, politeknik dan kolej komuniti diteruskan bagi menaik taraf kapasiti bandwidth dengan peruntukan RM35 juta. Tanggal 2 Jun telah dipilih sebagai Hari TVET Negara. Kerajaan menyasarkan sekurang-kurangnya 55 peratus lepasan SPM akan melanjutkan pengajian dalam bidang TVET menjelang 2025.
Selaras dengan agenda memperkasa TVET yang diterajui oleh Majlis TVET Negara, sejumlah RM6.7 bilion disediakan di bawah tujuh kementerian utama yang melaksanakan pelbagai inisiatif TVET.
Antaranya, RM180 juta disediakan sebagai Dana Latihan TVET kepada Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran bagi menyediakan pinjaman untuk manfaat 12,000 orang pelatih yang mengikuti program Persijilan Kemahiran Malaysia. Kerajaan juga akan meneruskan program Sistem Latihan Dual Nasional dengan peruntukan RM20 juta untuk manfaat 3,000 orang pelatih. Kerajaan bercadang untuk melanjutkan sehingga 2024 pelepasan cukai pendapatan individu sehingga RM8,000 untuk simpanan bersih tahunan dalam Skim Simpanan Pendidikan Nasional.
Yang Amat Berhormat Perdana Menteri sebelum ini telah bersetuju untuk menaikkan kadar pinjaman PTPTN serta menyediakan pinjaman komputer untuk kumpulan M40 selain mengecualikan bayaran balik pinjaman PTPTN kepada semua pelajar yang mendapat ijazah sarjana muda kelas pertama. Kepada peminjam PTPTN yang perlu membayar hutang mereka, tanggungjawab itu hendaklah dilunaskan. Ini sudah jelas malah menjadi tuntutan dalam agama. Jika tidak dibayar, kita menafikan hak anak-anak Keluarga Malaysia untuk meraih peluang yang sama.
Datuk Seri Utama Tengku Zafrul bin Tengku Abdul Aziz
Bagi memudahkan pembayaran dan memupuk sikap bertanggungjawab, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri bersetuju untuk memberikan diskaun bayaran balik pinjaman PTPTN bermula 1 November 2022 hingga 30 April 2023 dengan kadar yang berikut:
(i) diskaun 20 peratus atas baki hutang untuk penyelesaian penuh pinjaman;
(ii) diskaun 15 peratus untuk bayaran sekurang-kurangnya 50 peratus daripada baki hutang dalam sekali bayaran; dan
(iii) diskaun 15 peratus untuk bayaran secara potongan gaji atau debit terus berjadual.
Tuan Yang di-Pertua, Majlis Perumahan Mampu Milik Negara telah menyasarkan pembinaan 500,000 unit rumah mampu milik di seluruh negara menjelang 2025. Untuk menggalakkan pemilikan rumah pertama, sebelum ini duti setem bagi rumah bernilai RM500,000 ke bawah telah dikecualikan sepenuhnya hingga akhir tahun 2025.
Sukacita saya umumkan, berhubung urusan surat cara pindah milik harta tanah dan perjanjian pinjaman bagi rumah bernilai lebih RM500,000 hingga RM1 juta, pengecualian bayaran duti setem akan dinaikkan daripada 50 peratus kepada 75 peratus sehingga 31 Disember 2023.
[Dewan tepuk]
Datuk Seri Utama Tengku Zafrul bin Tengku Abdul Aziz
Sebagai contoh, pengecualian 100 peratus atas pembelian rumah bernilai RM300,000 bakal menjimatkan RM6,500 sementara pengecualian 75 peratus atas pembelian rumah RM750,000 bakal menjimatkan wang rakyat sebanyak RM15,000.
Pada masa ini, pengecualian duti setem sepenuhnya diberikan ke atas surat cara pindah milik harta tanah antara suami isteri tetapi hanya 50 peratus kepada ibu bapa dan anak. Memandangkan kasih sayang antara ibu bapa dan anak tidak mungkin lah separuh, kerajaan bercadang mulai tahun 2023, semua pindah milik harta tanah atas dasar kasih sayang antara keluarga seperti daripada suami kepada isteri, bapa kepada anak atau datuk kepada cucu hanya dikenakan duti setem sebanyak RM10.
[Dewan tepuk]
Datuk Seri Utama Tengku Zafrul bin Tengku Abdul Aziz
Tahun hadapan, peruntukan bagi bina baharu dan baik pulih rumah di luar bandar akan ditingkatkan daripada RM360 juta kepada RM460 juta. Di samping itu, kadar siling bantuan bina baharu rumah turut dinaikkan, contohnya daripada RM68,000 kepada RM79,000 seunit di Sabah dan Sarawak. Sehubungan itu 3,000 buah rumah baharu akan dibina dengan lebih separuh daripadanya di Sabah dan Sarawak.
Untuk kawasan bandar pula, Program Perumahan Rakyat (PPR) disediakan peruntukan RM367 juta termasuk projek baharu di Marang, Terengganu dan Arau, Perlis untuk manfaat 12,400 bakal penghuni baharu. Program Rumah Mesra Rakyat pula melibatkan pembinaan 4,250 unit rumah dengan peruntukan RM358 juta.
Syarikat Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) menyediakan jaminan kerajaan atas pinjaman perumahan terutamanya untuk membantu peminjam tanpa pendapatan tetap seperti pekerja e-hailing yang telah membantu lebih 14,000 peminjam. Bagi membantu sehingga 12,000 peminjam pada tahun 2023, kemudahan jaminan kerajaan melalui SJKP akan ditingkatkan sebanyak RM3 bilion.
#TeamMOF telah bertemu Kak Noraishah semasa mengadakan lawatan ke PPR Lembah Subang 1. Sebagai ketua komuniti yang disegani, beliau amat aktif dan sering bekerjasama dengan pihak PBT dan Yayasan Hasanah dalam menyumbang kepada pembangunan komuniti menerusi program keusahawanan dan pemerkasaan wanita demi membolehkan mereka berdikari. Sapu tangan batik saya hari ini juga ialah hasil tangan usahawan wanita di PPR. Dalam membina persekitaran komuniti yang harmoni, kerajaan komited untuk:
Datuk Seri Utama Tengku Zafrul bin Tengku Abdul Aziz
(i) memastikan kondisi rumah strata, kos rendah dan sederhana yang selamat dengan menyelenggara termasuk menggantikan lif-lif usang dengan peruntukan RM290 juta;
(ii) meningkatkan khidmat kesihatan bergerak antaranya di kawasan rumah kos rendah dengan peruntukan RM22 juta;
(iii) menyediakan kelas pemulihan untuk anak-anak penghuni rumah kos rendah yang tercicir pembelajaran semasa pandemik COVID-19; dan
(iv) mempergiat aktiviti peningkatan pendapatan oleh Yayasan Hasanah antaranya membantu pengusaha makanan memanfaatkan platform CloudKitchens.
Tuan Yang di-Pertua, bagi menggalakkan Keluarga Malaysia menggunakan pengangkutan awam, kerajaan akan terus mensubsidi kos perkhidmatan dan meningkatkan capaian pengangkutan awam di seluruh negara. Perkhidmatan bas henti-henti penting kepada penduduk bandar yang menggunakan kenderaan awam untuk ke tempat kerja. Bagi tahun hadapan, RM180 juta disediakan antaranya bagi menambah baik capaian bas awam kepada warga di Melaka, Kota Kinabalu dan Kuching. Kerajaan juga akan menggantikan 18 buah bas henti-henti kendalian MARA untuk manfaat penduduk Kedah.
Selanjut perkhidmatan udara pula merupakan mod pengangkutan utama bagi penduduk pedalaman Sabah dan Sarawak. Kerajaan komited untuk terus mensubsidi perkhidmatan pengangkutan udara dengan peruntukan RM209 juta untuk manfaat penduduk luar bandar. Kerajaan juga akan menambah baik kemudahan di tujuh lapangan terbang Sabah dan Sarawak, dengan membina wheelchair ramp untuk manfaat 2,300 komuniti berkerusi roda yang menggunakan MAS Wings.
Secara purata warga Lembah Klang yang menggunakan kemudahan rel dan bas untuk ke tempat kerja perlu berbelanja sekitar RM200 sebulan. Bagi mengurangkan kos perjalanan, kerajaan akan meneruskan inisiatif pas bulanan My50 untuk manfaat hampir 180,000 pengguna. Ini bermakna, My50 sebenarnya mensubsidi pengguna sehingga RM150 sebulan atau RM1,800 setahun.
Semasa Jelajah Bajet Yang Berhormat Sipitang ke Kelantan, JKR telah memberi taklimat tentang feri mereka yang menyediakan khidmat pengangkutan antara Pengkalan Kubor ke Tak Bai, Narathiwat, Thailand kepada 30,000 penduduk Tumpat. Sejumlah RM9 juta disediakan untuk JKR menggantikan feri sedia ada yang berusia lebih 34 tahun. Khas untuk pemilik teksi individu pula, sukacita kerajaan bersetuju memberi pengecualian cukai atau pun pengecualian duti eksais dan cukai jualan bagi penjualan, pindah milik atau pelupusan teksi diperluas kepada teksi eksklusif dan teksi lapangan terbang.
[Minum air] Tuan Yang di-Pertua, agenda memperkasa komuniti tumpuan akan memfokuskan kepada pemberian bantuan, kemudahan infrastruktur dan program- program sosioekonomi. Secara keseluruhan, masyarakat Orang Asli disediakan RM305 juta iaitu meningkat berbanding RM274 juta tahun ini. Peruntukan ini antaranya merangkumi program bantuan sosial, peningkatan taraf hidup serta Pembangunan Bersepadu Perkampungan Orang Asli.
Bagi tahun hadapan, kerajaan akan melaksanakan Projek Tanam Semula Ladang Orang Asli merangkumi kerja-kerja penanaman semula getah dan kelapa sawit yang akan memanfaatkan lebih 2,100 Orang Asli antaranya di Kemaman Terengganu, Bera, Pahang dan Gua Musang, Kelantan. Kerajaan juga akan mempergiat Program Pembangunan Usahawan Orang Asli bagi menyediakan
Datuk Seri Utama Tengku Zafrul bin Tengku Abdul Aziz
bantuan peralatan perniagaan dan bimbingan keusahawanan kepada 550 Orang Asli.
Saudari Zainab Along, anak Orang Asli dari suku Jakun telah melanjutkan pelajaran melalui kemudahan MARA, beliau berjaya merangkul Ijazah Sarjana Sains Gunaan di University of Plymouth dan seterusnya menggenggam Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang seni bina dari University of Newcastle.
Datuk Seri Utama Tengku Zafrul bin Tengku Abdul Aziz
MARA kini menyediakan peluang tajaan kepada 10 orang anak Orang Asli menyambung pengajian tinggi di luar negara. Tahun hadapan, bagi memberi inspirasi kepada lebih ramai anak Orang Asli menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi, yayasan di bawah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) akan menaja sekurang-kurangnya 10 orang anak Orang Asli untuk menyambung pelajaran di luar negara.
[Tepuk] Tahun hadapan, hampir RM1 bilion disediakan khusus untuk kebajikan warga emas iaitu peningkatan ketara berbanding RM580 juta pada tahun 2020. Ini berikutan kenaikan kadar bantuan kebajikan warga emas dan peluasan kelayakan yang meningkatkan bilangan penerima. Kerajaan juga terus menyediakan geran berjumlah RM21 juta untuk menyokong operasi institusi penjagaan warga emas, kanak-kanak dan OKU swasta yang dikendalikan oleh NGO.
Kebajikan Orang Kurang Upaya akan terus diberi perhatian di samping melaksanakan inisiatif yang berupaya menggilap potensi OKU untuk menyumbang kepada ekonomi diri. Tahun 2023, sejumlah RM1.2 bilion disediakan khusus untuk OKU antaranya melalui Bantuan Penjagaan Pesakit Kronik, Elaun OKU Tidak Berupaya Kerja dan Elaun Pekerja Cacat.
Dalam menggalakkan lebih ramai OKU berniaga, kerajaan akan terus memperkasa Skim 1 OKU 1 Perniagaan dengan mengecualikan bayaran fi pendaftaran dan pembaharuan lesen perniagaan di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia.
Semasa #TeamMOF bersama-sama komuniti OKU, terdapat cadangan untuk memperbanyak perkhidmatan pintu ke pintu bagi memudahkan pergerakan komuniti OKU. Maka, sebagai usaha merealisasikan hasrat ini, RM10 juta disediakan bagi pemberian baucar perjalanan kepada OKU melalui perkhidmatan e-hailing. Pendidikan untuk anak-anak OKU akan terus diperkasa. Bagi melindungi kebajikan murid dan guru pendidikan khas, kerajaan menyediakan RM20 juta untuk membekalkan peralatan mengajar serta menambah baik fasiliti di sekolah berkeperluan khas. Seperkara lagi, bagi memberi peluang kepada ibu bapa menghantar anak-anak OKU ke tempat asuhan yang selamat semasa mereka bekerja, kerajaan menyediakan insentif khas bagi menubuhkan 50 buah taska OKU baharu berbanding 13 buah yang sedia ada.
Kini terdapat 260 ribu orang OKU yang layak menerima BKM. Bagi memastikan capaian maklumat yang tuntas dan tepat, Kementerian Kewangan akan memperintiskan Pusat Panggilan Mesra OKU dengan menggunakan mod panggilan video bersama khidmat jurubahasa isyarat bagi menyampaikan maklumat kepada OKU.
Tuan Yang di-Pertua, golongan banduan turut punyai peluang bekerja dalam pelbagai bidang yang dikendalikan Jabatan Penjara. Tahun 2023, RM10 juta disediakan di bawah inisiatif Agropenjara bagi memperluas aktiviti pertanian dan perladangan melibatkan 70 hektar tanah penjara. Peruntukan ini antaranya untuk meluaskan penternakan lebah kelulut di Penjara Prabebas Dusun Dato’ Murad, Melaka dan meningkatkan bekalan ikan air tawar segar di Pusat Koreksional Kamunting, Perak.
Datuk Seri Utama Tengku Zafrul bin Tengku Abdul Aziz
Bermula 2023, potongan cukai tambahan kepada majikan yang menggaji antaranya bekas banduan turut dipanjangkan kepada bekas penghuni Sekolah Henry Gurney, institut perlindungan dan pemulihan kerajaan serta pusat jagaan bukan kerajaan yang berdaftar di bawah JKM. Berhubung kebajikan anak-anak di bawah jagaan institusi JKM, kerajaan akan menubuhkan Pusat Transit Anjung Sinar sebagai pusat sementara untuk mereka berteduh sebelum mendapat pekerjaan dan memulakan hidup baharu. GLC juga akan membantu mereka dengan peluang pekerjaan bersesuaian.
Tuan Yang di-Pertua, kerajaan tetap akan memastikan kebajikan dan sokongan yang berterusan kepada para pesawah, nelayan dan pekebun kecil. Bagi tahun hadapan kerajaan akan menyediakan:
(i) pelbagai subsidi dan insentif merangkumi subsidi harga padi, baja padi, benih padi sah, baja padi huma dan Insentif Pengeluaran Padi serta Insentif Tangkapan Hasil Nelayan dengan peruntukan RM1.8 bilion iaitu meningkat RM100 juta berbanding tahun ini; [Tepuk]
(ii) bantuan kepada pesawah padi diperkenalkan semula untuk tahun 2023 dengan memberi bantuan sebanyak RM200 sebulan untuk tempoh tiga bulan atau semusim kepada 240 ribu pesawah dengan peruntukan RM228 juta;
(iii) Bantuan Musim Tengkujuh kepada pekebun kecil getah sebanyak RM200 sebulan untuk tempoh empat bulan kepada 320 ribu pekebun kecil dengan peruntukan RM256 juta. Ini bermakna pekebun kecil akan mendapat BMT sebanyak RM800 berbanding RM600 sebelum ini;
(iv) bagi meningkatkan pendapatan pekebun kecil getah, Insentif Pengeluaran Lateks diperkenalkan bersama dengan program TARGET untuk menambah baik rantaian bekalan bahan mentah getah melalui koperasi; dan
(v) Skim Perlindungan Pertanian akan diperkenalkan untuk melindungi pengusaha pertanian daripada sebarang risiko luar kawalan seperti cuaca, penyakit dan makhluk perosak, bermula dengan pesawah padi.
Tuan Yang di-Pertua, Bajet 2023 turut responsif dalam menyokong aktiviti perniagaan khususnya melibatkan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).
Kerajaan akan giat membantu syarikat PMKS melalui pemberian insentif dan kemudahan pembiayaan yang pelbagai. Berdasarkan sasaran RMKe-12, PMKS dijangka menyumbang 45 peratus kepada KDNK dan 25 peratus kepada jumlah eksport negara menjelang tahun 2025.
Sebagai komitmen kerajaan untuk menyokong dan memperkasa PMKS, sukacita diumumkan, mulai tahun taksiran 2023, kadar cukai PMKS ke atas pendapatan bercukai bagi 100 ribu pertama dikurangkan daripada 17 peratus kepada 15 peratus. Pengurangan ini dijangka memberi penjimatan sehingga RM2,000 kepada 150 ribu pembayar cukai PMKS.
Selain itu, sebagai usaha membantu khususnya penjaja kecil berniaga, sukacita diumumkan, kerajaan akan memberikan geran one-off sebanyak RM1,000 kepada semua syarikat PMKS berdaftar dan juga pemandu teksi berdaftar.
Dijangkakan sebanyak 1 juta perniagaan akan menerima manfaat daripada pemberian ini dengan peruntukan keseluruhan RM1 bilion.
Dengan iltizam merancakkan lagi aktiviti perniagaan, Semarak Niaga 2023 ditambah baik dengan nilai keseluruhan berjumlah RM45 bilion berbanding RM40
Datuk Seri Utama Tengku Zafrul bin Tengku Abdul Aziz
bilion yang diumumkan bagi tahun 2022. Nilai ini merangkumi pinjaman langsung, pembiayaan alternatif dan jaminan pembiayaan. Bagi tahun hadapan, sejumlah RM1.7 bilion daripadanya tersedia sebagai dana pinjaman mikro dan kemudahan perniagaan untuk manfaat peniaga kecil. Antaranya termasuklah:
(i) pinjaman mikro BSN dengan ketersediaan dana RM950 juta. Ini termasuk RM350 juta untuk Skim Penjaja Kecil Keluarga Malaysia dengan RM150 juta dikhususkan untuk peniaga bumiputera;
(ii) skim pinjaman kepada pengusaha kecil di bawah TEKUN khusus untuk bumiputera, wanita, belia dan sektor tidak formal dengan peruntukan RM300 juta;
(iii) kemudahan pinjaman perniagaan khusus kepada kaum Cina dengan ketersediaan dana RM200 juta dan kadar faedah serendah empat peratus;
(iv) kemudahan pinjaman mikro di bawah Skim Pembiayaan Usahawan Masyarakat India (SPUMI) disediakan dana RM25 juta. Selain itu, RM100 juta juga disediakan bawah MITRA antaranya bagi pembangunan usahawan kaum India; dan
(v) program kewangan sosial iTEKAD disediakan RM10 juta dan turut dipadankan bersama dana institusi kewangan melalui sumbangan zakat dan wakaf tunai.
Sumbangan koperasi dalam sejarah 100 tahun di Malaysia telah membantu ahlinya menyumbang kepada pembangunan negara. Tahun hadapan, RM100 juta diperuntukkan untuk Tabung Modal Pusingan Suruhanjaya Koperasi Malaysia bagi menyediakan pembiayaan untuk membantu koperasi mengembangkan industri agromakanan. Usaha ini turut disokong Program Pemerkasaan Rantaian Bekalan Koperasi ke arah bekalan barangan makanan dan keperluan pengguna yang konsisten dan pada harga yang lebih murah.
Tuan Yang di-Pertua, selain pembiayaan mikro, kerajaan juga menyediakan pinjaman yang menyokong syarikat kecil dan sederhana. Melalui Bank Negara Malaysia, RM10 bilion dana pinjaman disediakan antaranya untuk menggalakkan aktiviti automasi dan pendigitalan PKS serta menyokong agenda sekuriti makanan dan pemulihan sector pelancongan.
Kepada usahawan bumiputera, kerajaan melalui TERAJU dengan dana RM135 juta akan menyediakan kemudahan pembiayaan sokongan antaranya di bawah Dana Kemakmuran Bumiputera. Sejumlah RM200 juta juga disediakan di bawah Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) bagi menyediakan pembiayaan dan program pembangunan keusahawanan yang terlibat dalam sektor peruncitan dan pengedaran perdagangan.
Akhir sekali, sebagai pelengkap kepada inisiatif pembiayaan, kerajaan bercadang untuk melanjutkan pengecualian duti setem sebanyak 100 peratus ke atas perjanjian penstrukturan dan penjadualan semula pinjaman atau pembiayaan sehingga tahun 2024*.
[Menteri minum air]* . Dua kali.
Tuan Yang di-Pertua, kerajaan turut menumpukan kepada pembiayaan bagi projek-projek strategik melalui Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB).
Pelbagai dana pembiayaan akan disediakan dengan tawaran subsidi faedah 1.5 peratus setahun. Antaranya:
(i) Dana Pembiayaan Pembangunan Mampan bernilai RM1.5 bilion untuk menyokong usaha merealisasi 17 matlamat pembangunan mampan.
Datuk Seri Utama Tengku Zafrul bin Tengku Abdul Aziz
(ii) Dana Pembiayaan Infrastruktur Pelancongan berjumlah RM1 bilion bagi memperkukuh momentum pemulihan sektor pelancongan termasuk pembiayaan untuk pemulihan hotel, pembaharuan bandar serta pemuliharaan warisan; dan
(iii) Dana Pembiayaan Maritim dan Logistik sebanyak RM1 bilion yang diperluas kepada industri sokongan bagi sektor minyak dan gas serta sektor pembinaan dan pembaikan kapal.
Datuk Seri Utama Tengku Zafrul bin Tengku Abdul Aziz
Kerajaan juga akan meneruskan Skim Pemulihan dan Sokongan Melalui Ekuiti (RESET) dan Skim Modal Kerja di bawah Bank Pembangunan dengan dana keseluruhan berjumlah RM1 bilion bagi memberi sokongan berbentuk suntikan ekuiti dan modal kerja pusingan kepada syarikat berpotensi tinggi yang masih terjejas ekoran krisis COVID-19.
Sejak tahun 2009, kerajaan melalui Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) telah memudahkan PKS mendapatkan pinjaman bank dengan menjamin hampir 50,000 syarikat bernilai keseluruhan jaminan RM48 bilion. Untuk tahun 2023, SJPP akan menyediakan jaminan pembiayaan sehingga RM9 bilion bagi PKS khususnya untuk sektor-sektor strategik iaitu agromakanan, teknologi mampan, pelancongan serta vendor minyak dan gas.
Inisiatif jaminan ini pastinya akan terus membantu syarikat-syarikat PKS mendapatkan pembiayaan baharu yang sebelum ini sukar diperoleh. Inovasi kewangan berbentuk baharu seperti kaedah pendanaan awam, ekuiti atau Equity Crowdfunding (ECF) akan terus disokong. Instrumen ini berjaya menyediakan pembiayaan modal pada syarikat pemula seperti Green Lagoon Technology, pengendali loji biogas melalui ekonomi kitaran bagi menjana tenaga hijau daripada sisa kelapa sawit. Begitu juga perusahaan sosial seperti Athena Holdings yang menerajui usaha inovatif menyediakan produk mesra alam untuk wanita.
Bagi menyokong syarikat pemula dalam agenda kelestarian dan perusahaan sosial, kerajaan akan menyediakan dana Malaysia Coinvestment Fund (MyCIF) sebanyak RM30 juta sebagai tambahan kepada dana ECF. Selain itu kerajaan juga bercadang memperluas skop galakan cukai sedia ada bagi pelabur individu dalam syarikat pemula melalui equity crowdfunding meliputi pelaburan yang dibuat melalui syarikat nomini perkongsian liabiliti terhad.
Tuan Yang di-Pertua, alhamdulillah sejak pintu sempadan dibuka sektor pelancongan sudah mulai pulih. Setakat Julai, Malaysia menerima ketibaan 3.2 juta pelancong dengan pendapatan RM9.4 bilion. Pun begitu, ini masih belum menggambarkan pencapaian sebelum COVID-19 antaranya ekoran dasar China yang masih tidak menggalakkan rakyatnya ke luar negara.
Tahun 2023, kerajaan menyasarkan ketibaan pelancongan asing lebih daripada 15 juta pelancong dengan nilai pendapatan RM47.6 bilion. Bagi memperkukuh pemulihan sektor pelancongan RM200 juta disediakan untuk galakan, promosi dan pemasaran. Antaranya kerajaan akan menumpukan kepada pelancong bernilai tinggi daripada segmen pasaran khusus atau niche market seperti ekopelancongan, sukan golf dan skuba serta konvensyen antarabangsa.
Sebanyak RM90 juta disediakan dalam bentuk geran sempadan untuk program seperti Geran Padanan Galakan Melancong (GAMELAN) yang melibatkan kempen, promosi dan pemasaran bersama industri. Geran sempadan juga disediakan untuk insentif penganjuran program pelancongan termasuk acara sukan antarabangsa.
Selain itu ia turut disediakan bagi menggalakkan perkhidmatan penerbangan charter terutamanya dari Timur Tengah dan Asia Timur. Kerajaan bersama Malaysia
Datuk Seri Utama Tengku Zafrul bin Tengku Abdul Aziz
Airport Holdings Berhad dan syarikat penerbangan antarabangsa akan mengusahakan laluan penerbangan terus baharu destinasi antarabangsa seperti dari Asia Barat dan Timur Tengah ke Malaysia termasuk ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu dan Pulau Pinang.
Segmen ekopelancongan telah menjadi antara tarikan pelancong asing di Malaysia. Ini termasuklah The Habitat, Bukit Bendera yang berjaya menjadi destinasi tumpuan pelancong. Tahun hadapan sebanyak RM10 juta disediakan melalui usaha sama dengan jaringan pengusaha ekopelancongan bagi:
(i) menaik taraf tarikan ekopelancongan di Gua Kelam, Perlis;
(ii) merintis usaha pengurusan sisa pepejal mampan di Pulau Perhentian, Terengganu; dan
(iii) mempergiat aktiviti-aktiviti di Taman Pertanian Jubli Perak Sultan Ahmad Shah di Kuantan, Pahang.
Bagi menggalakkan Keluarga Malaysia melancong di destinasi pilihan dalam negara, kerajaan akan memperuntukkan RM25 juta bagi menyediakan insentif kepada rakyat dalam bentuk diskaun, baucar dan rebat bagi penginapan, pakej pelancongan, kraf tangan dan karya seni sehingga RM100.
Hotel di Malaysia wajar memainkan peranan untuk memaparkan kraf tangan hasil pengusaha tempatan kepada pelancong. Hotel One and Only Desaru Coast Resort milik Khazanah Nasional Berhad merupakan hotel yang memaparkan 100 peratus hiasan daripada kraf tangan Malaysia. Bagi menggalakkan lagi sektor pelancongan mengutamakan kraf tangan tempatan, kerajaan mencadangkan potongan cukai khas kepada hotel yang membeli produk kraf tangan tempatan dengan kos pembelian sehingga RM500,000.
Sokongan berterusan kepada pengusaha industri pelancongan adalah amat penting. Wan Muhamad Ihsan yang membuka hotel kontena di Pulau Pangkor misalnya telah mendapat manfaat daripada pembiayaan pelancongan kerajaan untuk mengekalkan pekerja beliau semasa tempoh pandemik.
Bagi membantu pengusaha pelancongan, kerajaan bercadang untuk melaksanakan inisiatif berikut;
(i) Pembiayaan pelancongan Bank Negara Malaysia dengan dana RM500 juta termasuk meningkatkan had pembiayaan maksimum daripada RM300,000 kepada RM500,000;
(ii) pengecualian cukai 100 peratus diberikan ke atas pendapatan berkanun bagi pengendali pelancongan yang membawa sekurang-kurangnya 200 pelancong asin setahun atau mengendalikan sekurang-kurangnya 400 pelancong tempatan;
(iii) pengecualian duti eksais 50 peratus ke atas pembelian kenderaan pelancongan CKD bagi kegunaan kereta sewa dan pandu serta bas persiaran; dan
(iv) Elaun Pelaburan Semula bagi projek perhotelan dan pelancongan terpilih diperkenalkan di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967.
Saya berpeluang melawat Petaling Street yang telah diberi nafas baharu hasil kerjasama ThinkCity dengan DBKL. Bagi terus mentransformasikan bandar Kuala Lumpur menjadi hab kreatif dan budaya, RM10 juta diperuntukkan kepada ThinkCity untuk inisiatif penjanaan semula pusat bandar.
Datuk Seri Utama Tengku Zafrul bin Tengku Abdul Aziz
Bagi menjadikan Malaysia sebagai destinasi utama pelancongan kesihatan, galakan cukai sedia ada untuk eksport perkhidmatan jagaan kesihatan swasta akan dilanjutkan sehingga tahun 2025. Dalam masa yang sama, Malaysia Healthcare Travel Council turut disediakan RM20 juta bagi memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi pilihan pelancong kesihatan.
Tuan Yang di-Pertua, bagi memastikan kemampanan kewangan kerajaan, Bajet 2023 bertanggungjawab untuk merealisasikan langkah pembaharuan fiskal.
Bajet ini juga komited untuk membina ketahanan negara sebagai persediaan mendepani apa jua cabaran masa hadapan.
Bagi tahun 2022, asalnya diperuntukkan RM332 bilion dengan sasaran defisit enam peratus. Ekoran tekanan inflasi global dan peningkatan harga komoditi, kerajaan mengambil langkah responsif dengan mengawal harga barang serta menambah baik subsidi barangan pengguna. Demi melindungi Keluarga Malaysia, peruntukan bagi tanggungan, bantuan dan subsidi melonjak daripada RM31 bilion kepada RM77.7 bilion.
Namun, kerajaan kekal bertanggungjawab menguruskan kewangan negara supaya perbelanjaan tambahan dipadankan dengan hasil tambahan atau penjimatan perbelanjaan lain. Dengan itu, kerajaan dapat mengawal dan mengurangkan paras defisit kepada 5.8 peratus daripada KNDK pada tahun 2022.
Walaupun Bajet 2023 ditingkatkan perbelanjaan sehingga RM372 bilion iaitu bajet terbesar dengan dasar fiskal yang mengembang, sebagai kerajaan bertanggungjawab ia akan diimbangi dengan komitmen untuk melaksanakan konsolidasi fiskal bagi memastikan kemampanan kewangan negara.
Dengan jangkaan kutipan hasil RM272.6 bilion defisit fiskal 2023 diunjurkan berkurang kepada 5.5 peratus KDNK berbanding 5.8 peratus pada tahun 2022.
Berteraskan Rangka Kerja Fiskal Jangka Sederhana, paras defisit bagi 2023 hingga 2025 dijangka terus berkurang kepada purata 4.4 peratus berbanding KDNK.
Kerajaan akan terus mempergiat usaha menambah baik kedudukan kewangan dalam tempoh jangka sederhana bagi mencapai sasaran defisit 3.5 peratus daripada KDNK seperti yang disasarkan dalam RMKe-12.
Seperti yang diumumkan pada Bajet 2022, kerajaan bercadang memperkenalkan Akta Tanggungjawab Fiskal (Fiscal Responsibility Act) (FRA) bagi meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti pengurusan fiskal negara. Pelbagai sesi libat urus diadakan untuk memastikan penggubalan FRA yang komprehensif dan memenuhi matlamat membina semula daya tahan fiskal negara dalam menghadapi sebarang cabaran yang mendatang. Insya-Allah, sukacita saya maklumkan bahawa, sekiranya tiada aral, Rang Undang-undang Tanggungjawab Fiskal 2022 akan dibentangkan pada mesyuarat ini juga.
Tuan Yang di-Pertua, sungguhpun dalam ketidaktentuan ekonomi, kerajaan tetap perlu memastikan sumber hasil yang mampan bagi membiayai perbelanjaan negara. Bagi meningkatkan kecekapan pentadbiran cukai, kerajaan sedang melaksanakan dua inisiatif seperti berikut;
(i) e-Invois yang dilaksanakan oleh LHDN secara berperingkat mulai tahun 2023 dengan pembangunan sistem dan projek rintis bersama pembayar cukai terpilih; dan
(ii) Tax Identification Number (TIN) telah dilaksanakan bagi memperluas asas cukai. Mulai 2023, individu warganegara dan pemastautin tetap yang mencapai umur 18 tahun akan diberikan TIN secara automatik dan penggunaan TIN ini diwajibkan bagi semua penyeteman dokumen dan surat cara.
Datuk Seri Utama Tengku Zafrul bin Tengku Abdul Aziz
Bagi membolehkan Malaysia meluaskan asas cukai di samping terus kompetitif dalam usaha menarik pelaburan langsung asing, kerajaan akan memperkenalkan kadar cukai efektif minimum di peringkat global seperti yang disarankan di bawah Pillar 2 Pelan Tindakan BEPS 1 dan bercadang melaksanakan Qualified Domestic Minimum Top-up Tax setelah kajian lanjut dibuat dan disasarkan pada tahun 2024.
Tuan Yang di-Pertua, kerajaan akan terus menangani ketirisan hasil. Strategi membasmi aktiviti penyeludupan rokok dan minuman keras yang sedang dijalankan melalui Multi-Agency Task Force akan terus digiatkan dengan langkah berikut:
(i) memperketat kawalan import rokok dan produk minuman keras melalui tempat pendaratan sah termasuk jeti persendirian;
Datuk Seri Utama Tengku Zafrul bin Tengku Abdul Aziz
(ii) mengehadkan aktiviti transhipment produk minuman keras daripada pelabuhan tertentu sahaja;
(iii) menjadikan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan Bukit Kayu Hitam sebagai single exit point bagi wilayah utara; dan
(iv) menyediakan ganjaran khas bagi memperkasa usaha membanteras penyeludupan rokok dan minuman keras.
Selain ketirisan hasil, kerajaan akan melaksanakan pembaharuan komprehensif yang menangani ketirisan subsidi barangan keperluan. Antara tumpuan utama adalah untuk memastikan petrol bersubsidi dimanfaatkan rakyat dan tidak kepada bukan warganegara. Memastikan diesel bersubsidi dinikmati pemandu kenderaan dan tidak terseludup ke premis perniagaan ataupun ke luar negara serta memastikan minyak masak dan LPG bersubsidi sampai ke isi rumah miskin dan kuotanya tidak dihabiskan oleh peniaga.
Tuan Yang di-Pertua, demi kesejahteraan Keluarga Malaysia, Bajet 2023 akan mengutamakan usaha membina daya tahan negara daripada sebarang kejutan masa hadapan. Menurut data Bank Dunia jumlah perbelanjaan perkhidmatan kesihatan di Malaysia adalah setara dengan negara jiran yang lain iaitu sekitar empat peratus kepada KDNK. Tahun hadapan Kementerian Kesihatan diperuntukkan RM36.1 bilion berbanding RM32.4 bilion tahun ini iaitu antara peningkatan terbesar di kalangan kementerian.
Sungguh pun kita dalam fasa peralihan ke endemik, COVID-19 masih bersama kita. Dalam mengharungi kehidupan mendatang, kerajaan akan terus memantapkan kapasiti perkhidmatan kesihatan awam. Sejumlah RM4.9 bilion disediakan bagi menampung perolehan seperti ubat, reagen, vaksin dan bahan guna habis iaitu meningkat 12 peratus berbanding tahun 2022.
Keutamaan tahun hadapan adalah untuk membaik pulih fasiliti termasuk klinik yang usang. Kerajaan menyediakan RM420 juta untuk pembaikan hospital dan klinik daif serta penggantian peralatan usang dengan keutamaan diberikan kepada fasiliti kesihatan pedalaman Sabah dan Sarawak.
Tahun hadapan beberapa projek pembinaan hospital, klinik dan fasiliti baharu akan dilaksanakan termasuk perolehan peralatan dengan kos hampir RM1.8 bilion.
Antaranya Hospital Maran di Pahang dengan kos RM350 juta, bangunan blok wanita dan kanak-kanak di Hospital Melaka serta lima buah klinik kesihatan baharu seperti di Linggi Negeri Sembilan, Penampang Sabah dan Sepupok Sarawak. Kerajaan juga akan memperoleh peralatan mobile CT scan bagi meningkatkan perkhidmatan CT scan khususnya untuk manfaatkan pedalaman Sabah dan Sarawak.
Datuk Seri Utama Tengku Zafrul bin Tengku Abdul Aziz
Bagi menerajui agenda kesihatan mental, kerajaan bercadang untuk menubuhkan Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Kebangsaan. Pusat ini bertindak sebagai penggerak bersepadu antara semua pihak yang kesejahteraan kesihatan mental rakyat di bawah payung MyMYNDA dengan peruntukan RM34 juta.
Bagi menyokong Dasar Kesihatan Pergigian Kebangsaan, skop pelepasan cukai pendapatan ke atas perbelanjaan rawatan perubatan diri, pasangan dan anak akan diperluas meliputi perbelanjaan pemeriksaan dan rawatan pergigian terhad sehingga RM1,000 mulai tahun taksiran 2023. Selain itu, RM10 juta juga disediakan untuk perolehan 10 unit mesin cetak 3D bagi penghasilan dentur yang dapat mengurangkan waktu lawatan pesakit ke klinik pergigian kerajaan daripada lima kali kepada hanya dua kali.
Dalam menggalakkan rakyat menghentikan tabiat merokok, kerajaan bercadang untuk mengecualikan duti import dan cukai jualan ke atas produk Terapi Gantian Nikotin.
Tuan Yang di-Pertua, Yang Berhormat Paya Besar sebelum ini telah berkesempatan menziarahi adik Athif Fahri yang menghidap penyakit Spinal Muscular Atrophy Type 1. Ini merupakan salah satu daripada 8,000 jenis penyakit jarang jumpa yang tersenarai dalam Malaysia Rare Disease Lists. Kerajaan telah mengambil langkah proaktif dengan menjadikan Hospital Kuala Lumpur dan Hospital Tunku Azizah sebagai pusat rujukan bagi penyakit jarang jumpa. Bagi menampung kos rawatan penyakit jarang jumpa yang kian meningkat, kerajaan akan meningkatkan peruntukan penyakit jarang jumpa kepada RM25 juta.
[Tepuk] Kerajaan juga pada Julai 2022 telah menubuhkan satu akaun amanah bagi rawatan penyakit jarang jumpa untuk membolehkan semua pihak menyalurkan sumbangan. Sukacita dimaklumkan sumbangan kepada tabung ini akan diberi potongan cukai bersamaan jumlah sumbangan sebenar. Diharapkan ramai pihak tampil ke hadapan untuk menyumbang bagi meringankan beban kos pesakit.
Pencegahan lebih baik daripada mengubati. Kerajaan akan mempergiatkan Agenda Saringan Rakyat melalui skim Peduli Kesihatan untuk kumpulan B40 (PEKA B40) yang disediakan RM80 juta termasuk untuk saringan penyakit kencing manis.
Kerajaan juga akan menambahbaikkan Program Saringan Kesihatan PERKESO sebagai langkah awal mengesan dan mencegah penyakit kritikal seperti kanser dan sakit jantung. Program ini dibuka kepada 2.3 juta orang pekerja berdaftar di bawah Skim Keilatan PERKESO dengan peruntukan RM80 juta.
Sejak tahun 2019, MySalam telah meluluskan tuntutan berkaitan penyakit kritikal dan hospitaliti berjumlah RM734 juta kepada 1.5 juta orang individu B40. Ini termasuk 500,000 individu yang menerima pampasan disebabkan COVID-19 dengan nilai keseluruhan RM330 juta. Kerajaan berhasrat untuk meneruskan pelaksanaan MySalam kepada penerima BKM sepanjang tahun 2023. Skim ini akan diteruskan dengan membuka kepada syarikat insurans dan takaful untuk bersama- sama memastikan kesinambungan MySalam.
Baucar Perlindungan Tenang telah memanfaatkan lebih tiga juta orang penerima BKM akan diteruskan melalui kaedah perkongsian kos. Ia turut diperluas kepada pembelian produk perlindungan bencana banjir untuk rumah kediaman.
Kumpulan Wang Amanah Negara berdasarkan Akta KWAN 1988 diwujudkan dengan mandat untuk menjana semua pendapatan berterusan demi faedah negara dan generasi akan datang. Selaras dengan tujuan tersebut, kerajaan telah memperuntukkan sehingga RM6 bilion untuk vaksin COVID-19.
Setakat 30 September 2022, sebanyak RM5 bilion telah pun dibelanjakan untuk Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan. Kerajaan ingin memberi jaminan,
Datuk Seri Utama Tengku Zafrul bin Tengku Abdul Aziz
bahawa peruntukan stok vaksin masih mencukupi bagi mereka yang ingin mendapatkan vaksin dos tambahan pada tahun 2023.
Kerajaan komited untuk menambah semula dana KWAN apabila krisis berakhir dan tertakluk kepada kedudukan kewangan yang mengizinkan. Selaras dengan itu, PETRONAS bercadang untuk menyumbangkan sebanyak RM2 bilion ke dalam KWAN pada tahun 2023. Kerajaan menyeru lebih banyak entiti menyumbang ke dalam KWAN bagi manfaat negara di hari muka.
Tuan Yang di-Pertua, kerajaan terus memperkukuhkan ketenteraman awam dan keselamatan negara dengan KDN dan MINDEF diperuntukkan sebanyak RM18.3 bilion dan RM17.4 bilion. Tahun 2023, usaha utama kerajaan adalah untuk melaksanakan;
(i) pembelian dan penyelenggaraan aset ATM bagi meningkatkan kesiagaan pertahanan dengan peruntukan hampir RM4 bilion;
(ii) pembelian dan penyelenggaraan aset PDRM bagi meningkatkan keselamatan dalam negeri dengan peruntukan RM431 juta;
(iii) penyelenggaraan semua kapal dan bot APMM bagi memastikan keselamatan kawasan maritim negara dengan peruntukan RM485 juta;
(iv) perolehan alat pengimbas badan dan menaik taraf fasiliti di lima buah penjara, antaranya Penjara Seremban, Negeri Sembilan dengan peruntukan RM18 juta; dan
(v) penambahan 25 pos kawalan sempadan PGA, imigresen, ESSCOM, APMM antaranya di Serikin Sarawak dan Lahad Datu Sabah.
Kebajikan pasukan beruniform tanah air dan para pesara akan terus dipelihara. Tahun hadapan inisiatif yang dilaksanakan merangkumi;
(i) RM118 juta untuk menyelenggara rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT). Kerajaan bercadang untuk membina RKAT baharu pelbagai kelas di Pangkalan Udara Butterworth Pulau Pinang selain 12 buah projek pembinaan RKAT yang sedang berjalan;
(ii) RM42 juta bagi membaik pulih dan menaik taraf kuarters kediaman PDRM;
(iii) RM28 juta sebagai peruntukan 2023 bagi meneruskan tiga buah projek pembinaan kuarters di bawah Jabatan Penjara antaranya di Pusat Koreksional Labuan dan Akademi Koreksional Malaysia; dan
(iv) pemberian 50 peratus diskaun ke atas pengangkutan awam di bawah kendalian prasarana kepada 21,000 orang pemegang kad veteran ATM dan kad pesara polis di Kuala Lumpur, Selangor, Pahang dan Pulau Pinang.
Tuan Yang di-Pertua, tahun ini perkembangan modal menyumbang kepada peningkatan kos makanan sedunia. Kerajaan sedaya upaya memastikan impak kenaikan kos yang minimum, antaranya melalui penempatan harga siling bahan makanan, penghapusan permit import dan melaksanakan inisiatif Jualan Murah Keluarga Malaysia. Selaras dengan Dasar Agromakanan Negara, kerajaan akan
Datuk Seri Utama Tengku Zafrul bin Tengku Abdul Aziz
terus memperkasa sekuriti makanan supaya tidak lagi bergantung kepada bekalan import agar mampu berdaya tahan daripada sebarang kejutan masa hadapan.
Setakat tahun 2020, penggunaan tanah bagi tanaman makanan telah merosot kepada hanya 1.2 juta hektar berbanding tujuh juta hektar untuk penanaman kelapa sawit dan getah. Bagi meningkatkan penghasilan makanan, kerajaan berhasrat untuk memanfaatkan tanah-tanah terbiar milik FELDA, FELCRA dan RISDA dan agensi di bawah MAFI dengan keluasan sehingga 800 ekar untuk tanaman makanan. Bagi meningkatkan tahap kemandirian pengeluaran ataupun SSL, di samping menggalakkan penggunaan teknologi dalam sektor pertanian, inisiatif berikut akan dilaksanakan;
(i) Skim Pembiayaan Agrofood BNM pada kadar 3.5 peratus untuk pengusaha agromakanan meningkatkan produktiviti pengeluaran disediakan dana RM1 bilion;
(ii) program Pelaburan Agrovest oleh Agrobank antaranya bagi menyediakan dana permulaan kepada syarikat pemula pertanian berteknologi moden dengan dana RM250 juta;
Datuk Seri Utama Tengku Zafrul bin Tengku Abdul Aziz
(iii) pelaburan RM200 juta oleh Khazanah di bawah Dana Impak dengan fokus untuk meningkatkan pendapatan dan produktiviti pekebun kecil;
(iv) program Digital AgTech di bawah MDEC akan diperluas ke 264 Pertubuhan Peladang Kawasan di seluruh negara dengan peruntukan RM20 juta bagi melatih lebih ramai pekebun kecil beradaptasi dengan teknologi digital; dan
(v) program Pembasmian Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia yang dirancang turut memberi fokus kepada galakan tanaman makanan rendah SSL seperti cili, halia dan kobis dalam kalangan isi rumah terpilih.
Saya semasa Jelajah Bajet di Johor sempat melawat ladang FOLO, sebuah ladang organik yang menukar sisa makanan dari hotel menjadi kompos organik yang kemudiannya digunakan sebagai baja untuk tanaman pelbagai jenis sayur-sayuran.
Di samping itu, terdapat pengusaha memproses sisa pertanian untuk hasilkan makanan ternakan dengan menggunakan black soldier fly. Bagi menyokong usaha pertanian lestari, RM56 juta diperuntukkan kepada MAFI untuk pelbagai inisiatif seperti pembangunan kelestarian agromakanan.
Selain itu, tempoh galakan cukai bagi projek pengeluaran bahan makanan akan dilanjutkan sehingga akhir tahun 2025 dengan skop galakan juga diperluas untuk turut merangkumi projek pertanian moden berasaskan Controlled Environment Agriculture. Sebagai contoh konsep indoor vertical farming diusahakan Dr. Jayanthi dari syarikat Boomgrow dengan menanam sayur dalam kontena kargo yang diubah suai dan menggunakan lampu dengan sensor Internet of Things serta mengaplikasi algoritma kecerdasan buatan (AI).
Bioteknologi mampu meningkatkan produktiviti pertanian serta membangunkan pendekatan pertanian yang lebih mesra alam. Dengan itu, kerajaan bercadang melanjutkan insentif cukai bagi syarikat berstatus BioNexus untuk permohonan yang diterima sehingga hujung 2024. Di samping itu, insentif ini akan ditambah baik dengan pengecualian cukai pendapatan ke atas pendapatan berkanun dinaikkan daripada 70 peratus kepada 100 peratus.
Datuk Seri Utama Tengku Zafrul bin Tengku Abdul Aziz
Bagi memacu produktiviti dan peningkatan kecekapan melalui automasi khususnya dalam sektor pertanian, kerajaan bercadang untuk memberi Elaun Modal Dipercepatkan dan mengecualikan cukai pendapatan 100 peratus ke atas perbelanjaan modal. Insentif ini terpakai bagi sektor perkilangan, pertanian dan perkhidmatan termasuk berkaitan perubatan yang mengadaptasi elemen Industri 4.0 serta pengusaha yang melaksanakan sistem reban tertutup.
Tuan Yang di-Pertua, kita sebagai Keluarga Malaysia amat berdukacita atas bencana yang melanda negara. Sejak dua tahun kebelakangan, bencana banjir dan tanah runtuh telah berlaku hampir di setiap negeri. Kepada mangsa-mangsa yang terkesan, kerajaan menzahirkan ucapan takziah atas kehilangan harta benda dan nyawa insan tersayang.
Sebermulanya kerajaan ini memegang mandat negara, beberapa keputusan kritikal telah dibuat sebagai langkah mitigasi mendepani sebarang bencana alam.
Kerajaan ini juga, dengan segera telah menambah baik pemberian bantuan wang ihsan di samping pelbagai lagi bantuan lain kepada mangsa yang terkesan.
Ke arah membina daya tahan negara, Kerajaan Keluarga Malaysia komited untuk melaksanakan Rancangan Tebatan Banjir sehingga 2030 sebagai strategi jangka panjang bagi beradaptasi dengan perubahan iklim di seluruh negara dengan nilai keseluruhan RM15 bilion. Bagi tahun 2023, sebahagian besar projek akan dianugerahkan dengan anggaran perbelanjaan RM700 juta. Antara projek utama yang digerakkan termasuklah:-
(i) pelaksanaan projek Empangan Sabo bernilai RM562 juta di 46 lokasi seluruh negara bagi mengurangkan risiko banjir puing dan banjir lumpur seperti tragedi banjir di Baling, Kedah;
(ii) pembinaan kolam takungan dwifungsi bernilai hampir RM2 bilion melibatkan jajaran di sepanjang Sungai Klang dan Sungai Rasau, Selangor sebagai strategi serampang dua mata mengatasi masalah banjir dan sebagai sumber penyimpanan bekalan air mentah;
(iii) projek fasa tambahan Lembangan Sungai Bersepadu di Sungai Golok, Kelantan bernilai RM500 juta ringgit; dan
(iv) penaiktarafan sistem ramalan cuaca bagi memperkasa ramalan dan amaran banjir di peringkat nasional.
Bagi tahun hadapan, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) akan diperuntukkan sejumlah RM174 juta. Sebagai langkah persediaan proaktif, Kementerian Kewangan akan terus menyalurkan tambahan RM400 juta kepada NADMA supaya bersiap siaga membantu dengan segera jika berlaku banjir pada hujung tahun ini.
Bagi tahun 2023, kerajaan telah menyediakan peruntukan awal berjumlah RM100 juta di bawah Tabung Bantuan Bencana Negara dan Kementerian Kewangan bersedia untuk menambahkan peruntukannya mengikut keperluan.
Sebagai langkah persediaan Angkatan Tentera Malaysia menghadapi sebarang bencana, dua buah hospital medan tambahan melibatkan kos RM47 juta akan siap pada hujung tahun ini di Kluang, Johor dan Kota Kinabalu, Sabah. Sebagai tambahan, sebanyak 50 unit ambulans juga akan ditempatkan di kem tentera, sedia untuk dikerahkan untuk membantu jika berlaku bencana.
Kerajaan menyediakan RM20 juta di bawah Geran Pertubuhan Prihatin Komuniti bagi manfaat 2,000 persatuan penduduk melaksanakan aktiviti
Datuk Seri Utama Tengku Zafrul bin Tengku Abdul Aziz
kesukarelawanan. Antaranya termasuklah menyertai kursus kebombaan bagi mempersiap diri sekiranya berdepan sebarang bencana seperti banjir dan kebakaran di peringkat komuniti.
Tuan Yang di-Pertua, setiap hari, jenayah penipuan dalam talian atau online scam menjadi isu global yang semakin serius dan Malaysia turut tidak terkecuali.
Langkah untuk membendung jenayah scam dengan segera penting termasuklah:-
(i) menubuhkan Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) yang melibatkan usaha sama PDRM, BNM, MCMC serta NFCC dan akan bekerjasama dengan institusi kewangan.
Pusat ini akan mula beroperasi bulan ini dan bertindak berdasarkan laporan diterima untuk menyekat akaun serta mengambil tindakan ke atas penjenayah;
(ii) memperketat langkah-langkah keselamatan untuk perbankan internet oleh institusi perbankan untuk menghentikan penggunaan one-time-password (OTP) yang berasaskan SMS bagi transaksi berisiko tinggi;
(iii) menyediakan sebuah platform untuk orang ramai melaporkan mana-mana akaun atau nombor yang disyaki digunakan oleh penjenayah online scam; dan
(iv) memperhebat tahap kesedaran literasi kewangan dan digital pengguna demi mengurangkan risiko menjadi mangsa penipuan.
Dalam masa yang sama, kerajaan akan terus memperkasa CyberSecurity Malaysia dengan peruntukan RM73 juta antaranya bagi mengukuhkan pemantauan, pengesanan dan pelaporan ancaman siber termasuk membina keupayaan sistem forensik siber.
Bagi melindungi pengguna kredit di samping memupuk pasaran kredit pengguna yang adil dan teratur, kerajaan komited untuk membentangkan Rang Undang-undang Kredit Pengguna pada suku kedua 2023. Melalui usaha ini, sebuah pihak berkuasa amalan bebas yang baharu iaitu Lembaga Pemantauan Kredit Pengguna akan ditubuhkan di bawah Kementerian Kewangan bagi mengawal selia semua aktiviti berkaitan kredit pengguna.
[Minum air] Tuan Yang di-Pertua, kerajaan akan terus menambah baik dan meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan dan kesejahteraan Keluarga Malaysia dan negara seluruhnya.
Pelan Induk Kerjasama Awam Swasta 2023-2032 akan dilancarkan bagi memperkenalkan model PPP baharu yang mampu memacu projek infrastruktur berdasarkan user pay seperti lebuh raya dan in-kind payment seperti landswap.
Sehubungan dengan itu, sebanyak RM250 juta Dana Mudah Cara Infrastruktur disediakan untuk menyokong pelaksanaan projek PPP berimpak tinggi dalam sektor infrastruktur, sosial dan keselamatan.
Tuan Yang di-Pertua, GLC dan GLIC akan terus memainkan peranan sebagai nadi penggerak ekonomi negara dan komited untuk membuat pelaburan sehingga RM50 bilion bagi tahun 2023. Antaranya:-
(i) melabur dalam modal teroka bagi menyokong syarikat pemula dan usahawan sehingga RM1.3 bilion;
(ii) menumpukan kepada projek-projek sekuriti makanan sebanyak RM1.35 bilion;
Datuk Seri Utama Tengku Zafrul bin Tengku Abdul Aziz
(iii) mendorong agenda kelestarian dengan pelancaran sustainability framework serta menetapkan sasaran untuk mencapai portfolio fully ESG-compliant dan operasi karbon neutral;
(iv) membuat perolehan hijau sehingga RM330 juta di samping menyediakan infrastruktur EV; dan
(v) membuat pelaburan langsung domestik sehingga RM45 bilion.
Pelaburan langsung domestik daripada GLC sememangnya penting dalam pemulihan ekonomi. Antaranya, KWSP akan meneruskan pembangunan Kwasa Damansara dengan mewujudkan lebih 6,000 peluang pekerjaan dengan jumlah pelaburan melebihi RM3 bilion sehingga 2025. Selain itu, PNB juga melalui projek Menara Merdeka 118 akan membawa nilai pembangunan kasar melebihi RM10 bilion dan mewujudkan sehingga 4,000 peluang pekerjaan baharu.
Bagi tahun 2023, Khazanah Nasional Berhad akan melabur RM1 bilion di bawah Dana Impak antaranya RM230 juta dikhaskan untuk pelaburan dalam syarikat berteknologi tinggi milik tempatan. Dana ini akan menyokong lebih banyak anak tempatan untuk menuai pengalaman bekerja dengan syarikat multinasional dengan menubuhkan syarikat berteknologi milik sendiri, seperti SkyeChip. Bagi menggalakkan syarikat seumpama ini untuk menjana paten sendiri, kerajaan juga bercadang melanjutkan galakan cukai bagi pembangunan harta intelek sehingga 31 Disember 2025.
Bagi menggalakkan lebih ramai pelabur mangkin menyumbang kepada aktiviti ekonomi melalui pendanaan modal dalam syarikat penerima pelaburan, galakan cukai akan dilanjutkan sehingga 31 Disember 2026.
Hospital Pakar KPJ Damansara 2 dengan kapasiti 300 katil telah siap dibangunkan di atas tanah rizab Melayu oleh Pelaburan Hartanah Berhad. PHB akan terus melaksanakan pembangunan komersial untuk menambah nilai pemilikan hartanah bumiputera termasuk di tanah-tanah rizab Melayu. Tahun hadapan, RM50 juta disediakan kepada PHB.
Bagi mengembangkan lagi perniagaan bumiputera yang berkebolehan, Ekuiti Nasional Berhad (EKUINAS) menyediakan pelaburan Dana Asas berjumlah RM100 juta, sebagai dana pelaburan langsung khusus untuk syarikat bumiputera dengan nilai pelaburan minimum RM10 juta bagi setiap pelaburan.
Datuk Seri Utama Tengku Zafrul bin Tengku Abdul Aziz
Kementerian Kewangan telah melancarkan garis panduan Prinsip Tadbir Urus Baik untuk diterima pakai oleh semua GLIC dan akan diperluas kepada semua GLC. Selanjutnya, satu piawaian pelaburan bakal dilancarkan bagi memastikan agenda kemapanan dipertimbangkan dalam proses pelaburan GLIC.
Tuan Yang di-Pertua, Pusat Transformasi Bandar (UTC) telah memudahkan rakyat dalam mendapatkan pelbagai perkhidmatan kerajaan di satu tempat. Bagi memastikan manfaat terus dirasai oleh Keluarga Malaysia, UTC akan diberi nafas baharu dan ditransformasi dengan perkhidmatan digital dan pekerjaan. Dicadangkan penubuhan dua UTC baharu di samping menyelenggara UTC sedia ada dengan peruntukan RM20 juta.
Sementara itu, kerajaan melalui MDEC akan mempelopori usaha mentransformasikan UTC sebagai hab digital. Antaranya, urus niaga di UTC akan dijalankan secara tanpa tunai di samping menggalakkan pelbagai aktiviti digital seperti e-sukan dan pengekodan untuk manfaat belia setempat.
Datuk Seri Utama Tengku Zafrul bin Tengku Abdul Aziz
Bagi membantu golongan penganggur menerusi padanan pekerjaan, kerajaan akan membangunkan 13 Pusat Satelit MYFutureJobs di UTC seluruh negara dengan peruntukan RM8 juta. Selain itu, HRD Corp dan PERKESO juga akan menubuhkan National Placement Centre di Lembah Klang sebagai pusat sehenti yang membantu rakyat mendapatkan pekerjaan. PERKESO juga akan meningkatkan bilangan Pengurus Kes Perkhidmatan Pekerjaan untuk menyokong golongan penganggur tegar mencari kerja.
Kerajaan akan terus memperkasa advokasi kepenggunaan khususnya berhubung hak-hak pengguna. Kerajaan juga akan menyediakan bantuan khas pembiayaan pelantikan peguam swasta bagi membantu pengguna dalam pengendalian kes permohonan semakan kehakiman di Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia.
Akhir sekali, ke arah memodenkan urusan dengan kerajaan, proses penyeteman surat cara dan pembayaran duti setem kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri akan dibuat sepenuhnya secara dalam talian menjelang tahun 2024 melalui Stamp Assessment and Payment System.
Tuan Yang di-Pertua, Keluarga Malaysia amat berterima kasih atas dedikasi dan kesungguhan yang tidak berbelah bahagi barisan hadapan negara dalam melunaskan amanah sepanjang membangunkan tanah air ini. Di bawah teraju kepimpinan Ketua Setiausaha Negara, anggota perkhidmatan awam telah bertungkus-lumus dan setia bersama kerajaan bagi mempertahankan kesejahteraan rakyat dan kestabilan negara.
Pada tahun ini, kerajaan telah melaksanakan beberapa inisiatif untuk manfaat penjawat awam. Antaranya termasuklah penurunan kadar pembiayaan bagi skim pinjaman komputer dan telefon pintar daripada empat peratus kepada dua peratus.
Bagi memupuk amalan gaya hidup sihat dalam kalangan penjawat awam, sukacita kerajaan akan memperluas tafsiran peranti digital di bawah Skim Pembiayaan Komputer dan Telefon Pintar untuk turut merangkumi jam tangan pintar.
Di bawah Bajet 2022, kerajaan telah meneruskan Perlindungan Kemalangan Diri sehingga RM100 juta untuk manfaat 40,000 peminjam baharu LPPSA. Untuk tahun hadapan, kerajaan bersetuju untuk memberikan subsidi RM100 bagi perlindungan insurans atau takaful isi rumah atau home content yang bernilai RM20,000 sebagai usaha meringankan beban peminjam yang terkesan dengan bencana.
Dengan segala khidmat bakti yang dizahirkan selama ini, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri telah mengumumkan beberapa imbuhan kepada penjawat awam semasa Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Ke-18 pada 30 Ogos lalu.
Antara yang utama termasuklah kadar maksimum gantian cuti rehat (GCR) yang boleh dikumpulkan bagi tujuan award wang tunai dinaikkan daripada 160 kepada 180 hari dengan anggaran implikasi kewangan RM100 juta setahun. Dengan kenaikan tersebut, sukacita diumumkan bahawa kebenaran penebusan awal GCR sehingga 50 peratus juga akan dinaikkan sehingga maksimum 90 hari. Diharapkan kenaikan penebusan awal ini, dapat membantu penjawat awam yang memerlukan.
Kerajaan juga telah menambah cuti rehat khas pegawai perkhidmatan pendidikan yang berkhidmat melebihi 10 tahun sebanyak lima hari menjadi 15 hari bagi memberi manfaat kepada 500,000 guru untuk menguruskan hal-hal peribadi dan berpeluang mengumpulkan GCR yang lebih tinggi.
Kerajaan juga telah bersetuju untuk memberikan Kenaikan Gaji Tambahan Khas 2023 sebanyak RM100 kepada semua penjawat awam Gred 11 hingga 56 dengan implikasi kewangan RM1.5 bilion. Ini bermakna, jika seorang kakitangan
Datuk Seri Utama Tengku Zafrul bin Tengku Abdul Aziz
Gred 11 yang bergaji RM1,600 mendapat Kenaikan Gaji Tahunannya sebanyak RM80 pada setiap bulan April, bagi tahun hadapan, beliau turut mendapat kenaikan gaji tambahan khas 2023 sebanyak RM100 bermula pada bulan Januari 2023. Ini menjadikan gaji akhir beliau pada tahun 2023 adalah sebanyak RM1,780 dan gaji ini kekal dibawa ke tahun seterusnya.
Bagi tahun hadapan, kerajaan turut bersetuju memberikan Bantuan Khas Kewangan kepada 1.3 juta orang penjawat awam Gred 56 ke bawah sebanyak RM700 dan satu juta orang pesara kerajaan sebanyak RM350 dengan implikasi kewangan berjumlah RM1.3 bilion.
Sukacita juga diumumkan, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri telah memutuskan supaya Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri 2023 dinaikkan kepada RM600 dan dibayar pada bulan Mac 2023. Bersama dengan Kenaikan Gaji Tambahan Khas 2023, sebanyak RM100 yang berkuat kuasa Januari 2023 dan Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM700 menjadikan jumlah tambahan keseluruhan untuk penjawat awam yang layak pada tahun 2023 adalah sebanyak RM2,500.
Tuan Yang di-Pertua, pandemik COVID-19 telah memberi peluang untuk kerajaan melaksanakan pembaharuan, meneladani pengalaman lalu serta menggubal dasar yang beradaptasi dengan norma baharu.
Aspirasi Pelaburan Kebangsaan (NIA) yang dilancarkan semalam telah dirangka bagi memacu pelaburan berkualiti tinggi dan mampan di peringkat nasional dan sektor strategik. Kerajaan akan terus mengemas kini kerangka insentif supaya selaras dengan perkembangan semasa dan hala tuju pelaburan kebangsaan.
Dalam menarik pelaburan berkualiti tinggi, kerajaan komited untuk mencapai tangga 10 teratas dunia sebagai negara berdaya saing menjelang tahun 2025.
Komitmen ini memerlukan usaha sama awam swasta yang akan diterajui melalui Pasukan Petugas Khas Pemudah Cara Perniagaan (PEMUDAH).
Sebagai permulaan, Kementerian Kewangan akan menangani isu dibangkitkan sektor swasta di dalam platform PEMUDAH dengan melaksanakan pembaharuan berikut:
(i) membenarkan untuk menyerap kerugian terkumpul yang tidak dapat diserap oleh syarikat dalam sektor yang mempunyai tempoh long gestation sehingga maksimum 20 tahun seperti bidang perladangan hutan dan projek hidroelektrik;
(ii) membenarkan aset tak ketara seperti perisian atau software sebagai sebahagian takrifan loji di bawah Jadual 3, Akta Cukai Pendapatan 1967;
(iii) bersetuju supaya hospital kebajikan yang berdaftar sebagai Syarikat Berhad Menurut Jaminan diberi pengecualian cukai pendapatan bersamaan amaun perbelanjaan kebajikan yang dilakukan. Para penderma juga akan mendapat potongan cukai sehingga 10 peratus;
(iv) pembayar cukai perlu membuat penghantaran elektronik bagi pembayaran cukai mulai tahun taksiran 2024; dan
(v) melanjutkan kelonggaran tatacara dan peraturan perolehan kerajaan antaranya membenarkan agensi kerajaan menaikkan had nilai sebut harga daripada RM500,000 kepada RM800,000 sehingga akhir tahun 2023.
[Minum air]
Datuk Seri Utama Tengku Zafrul bin Tengku Abdul Aziz
Tuan Yang di-Pertua, kerajaan akan terus menyokong pelaburan dalam sektor-sektor berimpak tinggi dan strategik yang berupaya memacu pembangunan negara.
Kerajaan telah berjaya menarik komitmen pelaburan sehingga RM40 bilion daripada syarikat Intel, Infineon dan Osram iaitu tiga gergasi E&E global. Bagi menarik lebih banyak pelaburan bernilai tambah tinggi serta menjana peluang pekerjaan profesional, pendekatan strategik akan diambil melalui pewujudan dana pelaburan lebih RM1 bilion.
Sebagai menyokong ekosistem E&E, RM10 juta disediakan kepada the Collaborative Research in Engineering, Science and Technology Centre (CREST) untuk membangunkan aplikasi berasaskan teknologi frekuensi radio dan bluetooth bagi industri automotif.
Ekoran ketidaktentuan geopolitik dan gangguan rantaian global, kerajaan menyediakan insentif penempatan semula bagi menarik pelabur sektor E&E yang terjejas untuk memindahkan operasi ke Malaysia melalui pelanjutan galakan cukai sedia ada dan kadar cukai 15 peratus kepada C-Suite sehingga tahun 2024.
Industri peranti perubatan terus berkembang sebagai sektor bernilai tinggi.
Syarikat multinasional global seperti B. Braun telah mengeksport ke seluruh dunia produk mereka yang dikilangkan di Malaysia hasil reka bentuk jurutera kita. Syarikat tempatan seperti Ideal Healthcare di Sungai Petani juga telah menghasilkan pelbagai peranti perubatan untuk pasaran tempatan.
Untuk tahun 2023, RM20 juta disediakan secara geran padanan untuk menyokong pembangunan produk dan melahirkan bakat tempatan industri peranti perubatan. Kerajaan turut akan mengutamakan perolehan produk farmaseutikal dan peranti perubatan daripada pengeluar tempatan. Bagi menggalakkan pembangunan farmaseutikal, insentif cukai pendapatan bagi pengeluar produk farmaseutikal tempatan dilanjutkan sehingga akhir 2025.
Bagi menarik syarikat aeroangkasa baharu dan menggalakkan perkembangan syarikat sedia ada, insentif cukai pendapatan serta elaun cukai pelaburan akan dilanjutkan sehingga 31 Disember 2025. Geran padanan RM50 juta disediakan bagi menyokong pembangunan komponen aeroangkasa. Kawasan di sekitar KLIA Sepang pula akan terus dimajukan sebagai kluster industri aeroangkasa terutamanya untuk operasi penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO).
Datuk Seri Utama Tengku Zafrul bin Tengku Abdul Aziz
PETRONAS telah melabur lebih USD27 bilion bagi membangunkan Kompleks Petroleum Pengerang sebagai fasiliti petrokimia terbesar di rantau ini.
Bagi mengembangkan Pengerang sebagai hab petrokimia, kerajaan mencadangkan status khas bagi Pengerang untuk insentif pelaburan industri kimia dan petrokimia.
Untuk menyokong hasrat ini, kemudahan jaringan lebuh raya ke Pengerang akan ditambah baik melalui pembinaan lorong memotong di Senai-Desaru Expressway. Sebagai langkah tambahan, kerajaan juga bersetuju untuk melaksanakan projek menaik taraf Lebuh Raya Utara Selatan di Senai Utara- Pandan, Johor Bahru daripada empat lorong kepada enam lorong dengan kos RM510 juta.
Bagi menyokong pembangunan syarikat tempatan berasaskan teknologi yang berjaya seperti Aemulus Holdings Berhad, kerajaan menyediakan RM100 juta di bawah Dana Pelaburan Strategik Tempatan. Kerajaan juga akan melanjutkan potongan cukai sehingga RM1.5 juta ke atas perbelanjaan penyenaraian di Pasaran ACE dan LEAP sehingga tahun taksiran 2025 di samping turut memperluas potongan
Datuk Seri Utama Tengku Zafrul bin Tengku Abdul Aziz
cukai meliputi kos penyenaraian syarikat berasaskan teknologi di Pasaran Utama Bursa Malaysia.
Tuan Yang di-Pertua, aktiviti R&D diperuntukkan RM364 juta dan diterajui dua kementerian utama iaitu Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.
Selain itu, kerajaan menyediakan RM50 juta antaranya untuk;
(i) melaksanakan pembangunan dan pengkomersialan, nanoteknologi di bawah NanoMalaysia Berhad dengan peruntukan RM16 juta;
(ii) memacu inovasi perniagaan melalui skim insentif penyelidikan bagi perusahaan dengan peruntukan RM5 juta;
(iii) menyediakan Dana Modal Teroka bagi membiayai melalui suntikan ekuiti dalam syarikat berteknologi tinggi sektor E&E dan tenaga boleh diperbaharui dengan ketersediaan dana RM10 juta; dan
(iv) menjayakan Malaysia Techlympics 2023 bagi menyokong idea inovasi dengan peruntukan RM7 juta.
Syarikat Cult Creative yang dimiliki oleh tiga usahawan wanita telah berjaya menyediakan platform rangkaian yang memadankan bakat kreatif dengan bakal majikan industri kreatif. Bagi membantu lebih banyak syarikat pemula berinovasi berjaya di peringkat antarabangsa, Cradle Fund sebagai agensi penyelaras ekosistem startup Malaysia akan disediakan peruntukan RM50 juta.
Ekosistem startup sewajarnya bukan sahaja untuk produk komersial semata- mata tetapi juga dapat dimanfaatkan untuk menyelesaikan isu sosial dan berkepentingan awam. Sehubungan itu, MyDigital akan menyelaras usaha di antara ekosistem startup dengan agensi kerajaan bagi mencari penyelesaian berasaskan teknologi kepada isu utama yang dihadapi agensi kerajaan.
Malaysia telah melancarkan DE Rantau bagi mempromosi mobiliti profesional digital yang menyokong gaya hidup nomad. Bagi tahun 2023, DE Rantau akan menyediakan enam lokasi baharu melibatkan 2,000 Penginapan Sewa Pendek yang diperakui sebagai Hab Nomad Digital. Tahun hadapan, DE Rantau dijangka memanfaatkan 120 buah syarikat pemula dan akan menyumbang lebih RM180 juta kepada ekonomi.
Taman Teknologi MRANTI kini dalam proses transformasi untuk menjadi hab inovasi bertaraf dunia dengan kluster seperti teknologi kesihatan dan pembuatan pintar. Bagi memulakan transformasi ini, kerajaan menyediakan peruntukan awal RM18 juta. Di samping itu, MRANTI juga akan menerajui usaha selaku badan pengiktirafan barangan, perkhidmatan dan teknologi hasil R&D tempatan yang kemudiannya akan diberi keutamaan dalam perolehan kerajaan.
Tuan Yang di-Pertua, secara keseluruhan sektor agrikomoditi menyumbang RM20.4 bilion kepada KDNK suku kedua 2022. Bagi tahun 2023, kerajaan memperuntukkan RM2.6 bilion kepada FELDA, FELCRA dan RISDA sebagai antara agensi utama yang mengawal selia aktiviti komoditi. Dasar Agrikomoditi Negara 2030 menyasarkan kawasan bertanam getah sekurang-kurangnya 1.1 juta hektar menjelang 2030. Bagi mencapai sasaran ini, sejumlah RM315 juta disediakan untuk melaksanakan Program Pembangunan Kawasan Bertanam Getah Pekebun Kecil bagi menggantikan pokok getah tua yang tidak lagi berhasil untuk manfaat 387,000 orang pekebun kecil.
Datuk Seri Utama Tengku Zafrul bin Tengku Abdul Aziz
Selain itu, Program Pembangunan Semula Hasil Baharu turut dilaksanakan bagi menggalakkan pekebun kecil meneroka pendapatan baharu selain getah seperti tanaman makanan jangka pendek dengan peruntukan RM40 juta.
Bagi Program Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) telah berjaya meliputi 98 peratus kawasan penanaman sawit. Kerajaan menyediakan RM70 juta bagi terus menambah baik tahap kelestarian industri sawit, termasuk menggalakkan kitaran semula bahan sisa sawit. Kerajaan juga akan mempergiat usaha mempromosi dan Kempen Menangani Antiminyak Sawit di peringkat global.
Levi pekerja asing pelbagai peringkat atau multi-tiered levy disasarkan untuk dilaksanakan menjelang 2023. Melalui pendekatan tersebut, syarikat dengan bilangan pekerja asing tinggi seperti sektor perladangan dan pembinaan akan dikenakan kadar levi lebih tinggi. kerajaan bercadang menyalur semula hasil levi tambahan untuk menyokong majikan membiayai inisiatif automasi. Dengan itu, dasar ini memberi insentif dan membantu majikan mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing.
Dalam menggalakkan penghasilan dan pembelian barangan dan perkhidmatan tempatan, kerajaan akan;
(i) mempergiat usaha pendigitalan dan automasi antaranya melalui galakan aktiviti e-dagang di bawah MATRADE, MARA dan MDEC dengan peruntukan RM59 juta;
(ii) memperkasa usahawan francais di bawah Program Pembangunan Kapasiti Vendor 2.0 dan Geran Penyelidikan dan Pengkomersialan Vendor 2.0 dengan peruntukan RM15 juta; dan
(iii) menggalakkan pembelian produk buatan tempatan melalui Kempen Beli Barangan Buatan Malaysia dengan peruntukan RM10 juta.
Tuan Yang di-Pertua, penerbitan filem berunsur patriotik sentiasa menambat hati rakyat. Bermula dengan karya seni Sarjan Hassan dan Leftenan Adnan yang digarap hebat, hinggalah ke filem Ola Bola dan Mat Kilau, semuanya memberi impak dalam mencambahkan benih cinta rakyat kepada negara. Kejayaan Mat Kilau dengan kutipan tertinggi dalam sejarah pastinya mendorong lebih ramai pengkarya menerbitkan filem seperti ini. Maka, kerajaan akan menyediakan RM50 juta sebagai Dana Penerbitan Filem Kenegaraan (DEKAN) bagi memacu industri kreatif tempatan.
[Tepuk] Kerajaan juga menyediakan Dana Kandungan Digital berjumlah RM102 juta bagi memasarkan produk penggiat seni dan menggalakkan penghasilan lebih banyak karya kreatif dan malar segar. Bagi menyokong penggiat industri mencipta kandungan kreatif berkualiti tinggi, sumbangan kepada Tabung Komuniti Filem dan Pembangunan Filem Kenegaraan di bawah FINAS akan diberi potongan cukai.
Kerajaan juga bersetuju mengecualikan duti import dan cukai jualan ke atas peralatan studio dan produksi penggambaran.
Malaysia amat kaya dengan seni dan budaya. Bagi mengelakkan khazanah seni menjadi lapuk dan ditelan zaman apabila tiada lagi anak bangsa mewarisinya, kerajaan akan mempergiat Program Merakyatkan Seni, Budaya dan Warisan di peringkat akar umbi dengan peruntukan RM25 juta.
Tuan Yang di-Pertua, tahun ini telah memahat sejarah sukan yang amat membanggakan. Jalur Gemilang berkibar megah di seluruh dunia. Kejayaan paling besar pastinya pengakhiran 45 tahun untuk bergelar juara di Kejohanan Badminton Dunia melalui pasangan beregu lelaki nombor satu negara, Aaron Chia – Soh Wooi
Datuk Seri Utama Tengku Zafrul bin Tengku Abdul Aziz
Yik.
[Tepuk] Tahniah kami ucapkan dan terima kasih kepada semua wira negara yang telah mengharumkan nama Malaysia.
Melihatkan kepada pentingnya program latihan dan fasiliti sukan yang terbaik, sejumlah RM332 juta disediakan antaranya:
(i) RM145 juta untuk menyelenggara, menaik taraf dan membina kemudahan sukan di seluruh negara;
(ii) RM154 juta untuk menjayakan pembangunan ekosistem sukan yang menyeluruh melalui pencarian bakat baharu, program latihan, kelengkapan fasiliti sukan, hinggalah membawa negara ke podium sukan antarabangsa;
(iii) RM20 juta bagi membuka peluang belia terlibat dalam sukan permotoran di platform yang betul melalui pembangunan litar drag;
(iv) RM13 juta untuk pembangunan e-sukan; dan
(v) potongan cukai bagi mereka yang menyumbang kepada NGO yang terlibat dalam pembangunan sukan di peringkat akar umbi.
[Tepuk] Kepada atlet para negara, kalian sentiasa memberi inspirasi. Kami turut merakamkan ucapan tahniah kepada semua atlet para negara yang berjaya menggenggam 36 emas di Sukan Para ASEAN. Bagi melahirkan lebih ramai atlet para bertaraf antarabangsa, RM12 juta disediakan khusus untuk pembangunan sukan OKU.
[Tepuk] Kebajikan atlet akan terus terpelihara. Kerajaan akan menyediakan peruntukan RM5 juta kepada Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan
(YAKEB) untuk tahun 2023 dan selanjutnya.
[Tepuk] Hasil Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi menunjukkan satu daripada dua orang dewasa mempunyai berat badan berlebihan. Kita juga kekal juara sebagai negara paling obes di Asia Tenggara. Ini adalah satu isu kesihatan awam yang perlu diambil berat. Kerajaan akan terus memupuk gaya hidup sihat bagi mengurangkan risiko penyakit tidak berjangkit melalui Agenda Nasional Malaysia Sihat dengan peruntukan RM15 juta.
Esok ialah Hari Sukan Negara. Jadi, kerajaan menyerulah seluruh Keluarga Malaysia untuk luangkan sedikit masa beriadah demi memupuk gaya hidup lebih sihat. Pada tahun hadapan, kerajaan menyediakan RM10 juta untuk meneruskan Hari Sukan Negara dan Jelajah FitMalaysia.
Tuan Yang di-Pertua, sungguhpun kita berhadapan dengan kekangan fiskal, Kerajaan percaya melalui pembangunan infrastruktur, ia akan menyokong pembangunan negara dengan lebih terangkum dan mengurangkan jurang di antara wilayah. Bajet 2023 menyediakan peruntukan perbelanjaan pembangunan sebanyak RM95 bilion iaitu yang terbesar pernah disediakan dan meningkat dengan ketara berbanding peruntukan 2022 sebanyak RM75.6 bilion dan 2021 sebanyak RM64 bilion.
Datuk Seri Utama Tengku Zafrul bin Tengku Abdul Aziz
Daripada jumlah tersebut RM16.5 bilion disediakan bagi sektor pengangkutan melalui projek infrastruktur utama terutamanya Lebuh Raya Pan Borneo, Landasan Kereta Api Berkembar Gemas-Johor Bahru, ECRL, RTS Link dan Central Spine Roads. Insya-Allah, jajaran Pan Borneo di negeri Sarawak dijangka siap sepenuhnya untuk manfaat rakyat Sarawak dan Pan Borneo negeri Sabah pula akan siap menjelang tahun 2024.
Datuk Seri Utama Tengku Zafrul bin Tengku Abdul Aziz
Bagi meningkatkan kualiti penyampaian serta menyediakan persekitaran yang kondusif, kerajaan turut mengutamakan keperluan penambahbaikan dan penyelenggaraan aset termasuk jalan raya Persekutuan serta bangunan kerajaan dengan peruntukan RM11.4 bilion.
Kini Projek MRT2 Fasa 2 melibatkan Stesen Kampung Batu ke Putrajaya Sentral telah hampir siap dan dijangka mula beroperasi pada Januari 2023 untuk manfaat penduduk Lembah Klang.
Berhubung Projek MRT3 pula, ia merupakan komitmen kerajaan melengkapkan rangkaian rel Kuala Lumpur dengan jajaran sepanjang 50.8 kilometer.
MRT3 Fasa 1 dijangka siap pada tahun 2028. Manakala Fasa 2 pada tahun 2030.
Projek ini melibatkan kos RM50.2 bilion dengan unjuran perbelanjaan tahun 2023 sebanyak RM3.3 bilion.
Tuan Yang di-Pertua, demi sejahtera Keluarga Malaysia, Bajet 2023 menyokong pembangunan yang inklusif. Semestinya, agenda memartabatkan syariat Islam akan terus diutamakan. Di bawah Jabatan Perdana Menteri sejumlah RM1.5 bilion disediakan bagi kelulusan dan pembangunan hal ehwal Islam. Bagi tahun 2023, kerajaan menyediakan RM150 juta untuk menyelenggara fasiliti pendidikan di bawah selian JAKIM. Antaranya Sekolah Agama Rakyat, sekolah tahfiz dan institut pondok berdaftar.
[Tepuk] Setiap tahun, kerajaan menyediakan hampir RM700 juta sebagai bayaran elaun bulanan kepada imam, guru KAFA dan guru Takmir. Mereka berperanan besar dalam mendidik anak-anak kita dan mengimarah Islam di peringkat komuniti. Maka, kerajaan bersetuju untuk memberikan bayaran khas one-off RM500 kepada guru KAFA, guru takmir, imam, bilal, siak, noja dan marbut.
[Tepuk] Seramai 72 ribu orang akan menerima manfaat.
Industri halal Malaysia diunjur dalam RMK-12 akan menyumbang 8.1 peratus kepada KDNK dan menjana RM56 bilion pendapatan eksport menjelang tahun 2025.
Untuk menyemarakkan pembangunan industri halal, RM92 juta disediakan antaranya untuk:
(i) meneruskan Projek Pembangunan Pusat Hab Halal Tanjung Manis, Sarawak yang dijangka siap pada tahun depan dengan peruntukan RM59 juta;
(ii) melaksanakan Program Malaysia Services and Halal Global bagi mempromosi produk halal di pasaran global dengan peruntukan RM8 juta;
(iii) melaksanakan inisiatif pembangunan industri halal bagi meningkatkan pematuhan pensijilan halal dan mengadaptasi inovasi halal dengan peruntukan RM6.5 juta; dan
(iv) memperkenalkan Wakaf Halal PKS OKU bagi melaksanakan program onboarding kepada OKU yang ingin menceburi bidang perniagaan halal dengan peruntukan RM2.5 juta.
[Minum air] Tuan Yang di-Pertua, bagi memastikan kesejahteraan rakyat luar bandar, kemudahan infrastruktur akan terus ditambah baik. Bagi tahun 2023, sejumlah RM2.55 bilion disediakan dengan tumpuan kepada Sabah dan Sarawak untuk melaksanakan projek berikut:
(i) Projek Jalan Luar Bandar dan Jalan Perhubungan Desa hampir 500 kilometer berjumlah RM1.5 bilion untuk manfaat lebih 110 ribu orang penduduk antaranya dari Kampung
Datuk Seri Utama Tengku Zafrul bin Tengku Abdul Aziz
Orang Asli Bawong, Kuala Kangsar ke Rancangan Penempatan Semula Kemar, Perak;
(ii) Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar dengan peruntukan sebanyak RM472 juta untuk memanfaatkan penghuni 2,100 buah rumah;
(iii) Projek Bekalan Air Luar Bandar dan Bekalan Air Alternatif berjumlah RM381 juta bagi manfaat penghuni 4,800 buah rumah antaranya di Ladang RISDA Palong di Jempol, Negeri Sembilan;
(iv) Projek Lampu Jalan Kampung melalui pemasangan baharu 6,800 unit lampu dan penyelenggaraan dengan peruntukan sebanyak RM123 juta; dan
(v) kerja-kerja awalan bagi membina 85 jambatan baharu untuk menggantikan jambatan yang uzur serta tidak selamat dengan peruntukan berjumlah RM54 juta.
Pemberian Penyelenggaraan Jalan Negeri (MARRIS) akan ditingkatkan kepada RM5.2 bilion. Dalam usaha mengoptimum peruntukan ini, skop MARRIS akan diperluas untuk merangkumi kerja penyelenggaraan jalan pertanian negeri di bawah seliaan lembaga kemajuan pertanian. Kerajaan negeri juga dibenar untuk menggunakan peruntukan MARRIS bagi membaiki dan mengganti jalan, jambatan dan longkang yang rosak akibat bencana banjir selain terus membenarkan penggunaan sehingga 20 peratus dana MARRIS peruntukan penyelenggaraan luar skop.
Setakat Julai 2022, inisiatif Bank Bergerak yang melibatkan enam buah bank dengan 15 buah kenderaan diubah suai telah melakukan lebih 36 ribu transaksi antaranya di Mukah, Sarawak, Kota Setar, Kedah dan Batu Sapi, Sabah. Kerajaan akan terus mengembangkan inisiatif ini peruntukan manfaat penduduk pedalaman dengan peruntukan RM11 juta.
Tuan Yang di-Pertua, Sabah dan Sarawak akan terus meraih manfaat besar daripada peruntukan pembangunan negara iaitu masing-masing sebanyak RM6.3 bilion dan RM5.4 bilion. Peruntukan ini antaranya peruntukan melaksanakan projek infrastruktur air, elektrik, jalan raya, kesihatan dan kemudahan pendidikan.
Lima wilayah koridor utama negara akan menerima peruntukan keseluruhan RM1.4 bilion iaitu meningkat dua kali ganda berbanding RM690 juta pada tahun ini.
Tahun hadapan, program utama yang dilaksanakan termasuklah:
(i) Projek Ladang Tenusu di Chuping, Perlis dengan kos RM80 juta;
(ii) Program Pembangunan Modal Insan di bawah ECERDC antaranya bagi meningkatkan prestasi akademik anak-anak B40 dengan peruntukan RM63 juta;
(iii) sistem pengangkutan Bas Rapid Transit di Johor dengan peruntukan RM80 juta;
(iv) pembesaran Pelabuhan Kontena Sapangar Bay di Sabah dengan peruntukan RM250 juta; dan
(v) Projek Infrastruktur Bekalan Air Samalaju Fasa 3 di Sarawak dengan peruntukan RM100 juta.
Bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi koridor, pakej galakan cukai sedia ada yang akan tamat pada tahun ini akan ditambah baik dan dilanjutkan untuk tempoh dua tahun lagi.
Datuk Seri Utama Tengku Zafrul bin Tengku Abdul Aziz
Pertumbuhan ekonomi di utara akan terus dipacu melalui Projek Zon Ekonomi Sempadan Khas (SBEZ), Delapan di Bukit Kayu Hitam, Kedah. Kerajaan berhasrat untuk membangunkan hab lalu lintas digital dan pusat data alternatif bagi rantau Asia Tenggara di kawasan seluas 200 ekar di SBEZ, DELAPAN. Tahun hadapan, RM25 juta disediakan peruntukan menyediakan infrastruktur utama di samping sektor swasta pula akan melabur aset perniagaan dengan potensi pelaburan domestik sehingga RM4 bilion dan menyediakan lebih 600 peluang pekerjaan.
Kerajaan merancang untuk membangunkan bandar-bandar yang bersempadan dengan Thailand dan Kalimantan, di Indonesia antaranya di Bukit Kayu Hitam Kedah, Kalabakan Sabah serta Tebedu dan Ba'kelalan, di Sarawak dengan kos RM150 juta. Kerajaan bercadang untuk memulakan kerja awalan bagi pembinaan jalan baharu dari Kalabakan Sabah ke Simanggaris Indonesia dan menaik taraf Jalan Serian-Tebedu Sarawak ke sempadan Indonesia.
Tuan Yang di-Pertua, perolehan kerajaan memainkan peranan penting sebagai pengganda tinggi kepada ekonomi. Untuk tahun 2023, kerajaan akan menyediakan RM3.7 bilion bagi melaksanakan projek-projek kecil dan sederhana di seluruh Malaysia.
Ini termasuklah RM500 juta yang dikhususkan kepada kontraktor kelas G1 hingga G4 antaranya bagi melaksanakan penyelenggaraan bagi jalan Persekutuan, titi dan jambatan kecil, rumah ibadat serta infrastruktur yang rosak akibat banjir.
Bagi menyokong kontraktor bumiputera, kerajaan akan menyediakan pembiayaan jangka pendek kepada kontraktor bumiputera yang terlibat dalam bidang seperti elektrikal dan pembinaan melalui Skim Pembiayaan Kontrak Ekspres
(SPIKE) dengan dana RM20 juta.
Kerajaan juga akan melaksanakan inisiatif Kontraktornita bagi menyokong penyertaan lebih ramai kontraktor wanita bumiputera dalam perolehan kerajaan.
Sebanyak RM50 juta nilai projek-projek kecil akan dikhususkan kepada kontraktor wanita kelas G1 hingga G4.
Tuan Yang di-Pertua, di bawah Projek Jalinan Digital Negara (JENDELA) Fasa 2, kerajaan akan menyediakan 100 peratus liputan internet di kawasan berpenduduk dan menyediakan liputan gentian optik kepada 9 juta premis di seluruh negara menjelang 2025.
Inisiatif ini melibatkan jumlah pelaburan sebanyak RM8 bilion termasuk sumbangan pihak industri. Bagi tahun 2023, inisiaitif JENDELA akan disediakan RM700 juta untuk melaksanakan ketersambungan digital di 47 kawasan perindustrian dan hampir 3,700 buah sekolah.
Tenaga Nasional Berhad juga akan merintis pelaksanaan Projek Internet Luar Bandar dengan mengoptimumkan jaringan kabel elektrik untuk menyediakan kemudahan jalur lebar berkelajuan tinggi. Projek inisiatif akan memanfaatkan lebih 60 ribu penduduk luar bandar dan disokong melalui geran sepadan sebanyak RM25 juta.
Bagi tahun 2023, Digital Nasional Berhad (DNB) akan memperluas rangkaian 5G di seluruh negara merangkumi 70 peratus kawasan berpendudukan tinggi. DNB merancang untuk melaksanakan perbelanjaan infrastruktur bernilai RM1.3 bilion dalam tahun 2023. Keluarga Malaysia juga bakal menikmati kelajuan internet lebih pantas dan capaian internet 5G yang lebih murah.
Tuan Yang di-Pertua, seperti yang diutarakan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri semasa Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu di New York baru-baru ini, kita perlu segera mempergiat usaha pembangunan mampan dalam menangani krisis pemanasan global.
Datuk Seri Utama Tengku Zafrul bin Tengku Abdul Aziz
Kerajaan komited untuk mencapai pelepasan gas rumah kaca bersih sifar seawal-awalnya tahun 2050. Bagi menyokong aspirasi ini, kita tidak boleh lagi meneruskan sikap business as usual. Kesihatan planet (planetary health) perlu diambil kira dalam Agenda Pembangunan Negara. Sehubungan dengan itu, kerajaan telah membentangkan Rang Undang-undang Kualiti Alam Sekeliling 2022 Fasa 1 yang antara lain meningkatkan hukuman denda dan penalti kepada pesalah alam sekitar.
Bagi menggalakkan pelaburan hijau, kerajaan mencadangkan melanjutkan tempoh permohonan insentif Green Investment Tax Allowance (GITA) dan juga Green Income Tax Exemption (GITE) hingga 31 Disember 2025 dengan menambah baik tempoh galakan dari tiga kepada lima tahun bagi aktiviti hijau yang layak sebagai contoh aktiviti solar berserta Battery Energy Storage System. Selain itu, Skim Pembiayaan Teknologi Hijau (GTFS) turut akan ditambah baik dengan:
(i) nilai jaminan dinaikkan kepada RM3 bilion sehingga tahun 2025;
(ii) skop pembiayaan diperluas khususnya kepada sektor EV dengan had jaminan sehingga 60 peratus; dan
(iii) pembiayaan sektor sisa akan ditingkatkan tahap jaminannya kepada 80 peratus.
Sebagai pinjaman mudah, BNM akan menyediakan RM1 bilion di bawah Dana Pembiayaan Teknologi Tinggi dan Hijau bagi menyokong syarikat pemula teknologi lestari yang inovatif dan RM1 bilion di bawah Dana Pembiayaan Peralihan Karbon Rendah untuk membantu syarikat PKS menerap amalan rendah karbon.
Melalui Dana Impak, Khazanah akan menyediakan RM150 juta bagi merancakkan pembangunan projek mesra alam termasuk menyokong pasaran karbon dan restorasi hutan terosot.
Selari dengan iltizam ini, GENTARI sebuah anak syarikat PETRONAS telah ditubuhkan sebagai peneraju tenaga bersih. Sebagai permulaan, GENTARI komited untuk memasang panel solar di kemudahan kerajaan dan komersial menjelang 2024 dengan kapasiti PV kumulatif tiga megawatt dan menyediakan 500 unit kemudahan pengecasan EV di seluruh negara. Menyambut usaha yang sama, Tenaga Nasional Berhad turut komited untuk memasang rooftop solar serta menyediakan kemudahan pengecasan EV dengan pelaburan RM165 juta sehingga tahun 2025.
Selanjutnya, sebagai langkah berterusan menyokong penggunaan EV, kerajaan bercadang untuk memberi:
(i) pengecualian duti import dan eksais ke atas EV jenis CBU import dilanjutkan sehingga 31 Disember 2024;
(ii) pengecualian fi Approved Permit (AP) bagi pengimportan EV sehingga 31 Disember 2023; dan [Tepuk]
(iii) pengilang peralatan pengecasan EV diberi pengecualian cukai pendapatan 100 peratus ke atas pendapatan berkanun mulai tahun taksiran 2023 hingga tahun taksiran 2032 dan Elaun Cukai Pelaburan sebanyak 100 peratus.
Bagi menyokong usaha Pulau Tuba di Langkawi, Kedah sebagai pulau rendah karbon pertama di Malaysia, kerajaan akan memberikan rebat jualan sehingga RM4,000 kepada pengusaha motosikal sewa yang menggantikan motosikal sedia ada kepada motosikal elektrik.
[Tepuk] Kerajaan menyasarkan pelaksanaan perolehan hijau kerajaan sebanyak 25 peratus menjelang tahun 2025.
Datuk Seri Utama Tengku Zafrul bin Tengku Abdul Aziz
Bagi menyokong hasrat ini, pelaksanaan perolehan hijau kerajaan akan diperluas kepada kerajaan negeri dan PBT juga.
Program kitar semula produk plastik amat penting dalam memastikan kelestarian alam sekitar. Bagi meningkatkan pengumpulan sisa plastik, pihak yang membuat sumbangan atau penajaan peralatan Smart AI-Driven Reverse Vending Machine layak mendapat potongan cukai pendapatan.
Kerajaan berhasrat memperkenalkan cukai karbon dan akan mengkaji kebolehlaksanaan mekanisme penetapan harga karbon. Bagi menyokong pelaksanaan mekanisme ini, kerajaan akan menyediakan RM10 juta secara geran padanan untuk membantu penyediaan penilaian karbon bagi syarikat PKS serta produk-produk berkaitan yang layak.
[Minum air] Tuan Yang di-Pertua, kawasan perlindungan menyimpan khazanah biodiversiti yang tidak ternilai dan sekiranya tidak dipelihara, akan menjejaskan ekosistem alam dan agenda pembangunan mampan. Alhamdulillah, hasil keringat 7,000 orang peserta berdaftar, Kempen Penanaman 100 Juta Pokok menjelang 2025 telah berjaya menanam lebih 46 juta pokok terdiri daripada lebih 1,300 spesies.
Kerajaan juga akan terus mempergiat projek restorasi hutan bagi menanam anak- anak pokok antaranya di kawasan Hutan Simpan Wilayah Perhutanan Sandakan, Sabah.
Meskipun perkembangan ini baik, namun, aktiviti yang memberi impak kepada khazanah alam perlu segera dikawal. Ini termasuklah pembalakan haram dan pembalakan besar-besaran serta penjualan hidupan yang dilindungi termasuklah juga telur penyu. Maka, bagi menyokong usaha yang diambil kerajaan negeri dalam mengurus dan meningkatkan keluasan kawasan perlindungan flora dan fauna, kerajaan akan meningkatkan peruntukan Ecological Fiscal Transfer for Biodiversity Conservation (EFT) kepada RM100 juta setahun iaitu penambahan sebanyak RM30 juta.
Untuk memastikan hidupan liar dan habitat hutannya terus terpelihara, kerajaan memperuntukkan RM36 juta bagi program perlindungan harimau, gajah dan spesies liar lain. Dengan meningkatkan peruntukan kepada RM39 juta, bilangan renjer komuniti yang mengawal biodiversiti kawasan hutan akan ditingkatkan daripada 800 kepada 1,000 orang renjer dan digajikan daripada kalangan komuniti tempatan khususnya Orang Asli dan veteran.
Bagi memperbaik, membersih dan merawat sungai di seluruh negara, sejumlah RM216 juta disediakan untuk melaksanakan projek pemuliharaan antaranya di Muara Sungai Merang, Terengganu dan Muara Sungai Perak.
Tuan Yang di-Pertua, kerajaan telah bekerjasama rapat dengan Yayasan Hasanah sejak bermulanya COVID-19. Hasil kerjasama ini, ia telah berjaya mengendalikan 177 projek melibatkan 125 perusahaan sosial dan NGO dan telah memanfaatkan seramai 1.2 juta orang rakyat yang terkesan. Maka, bagi memperkukuh kerjasama ini, sebanyak RM100 juta akan disediakan kepada Yayasan Hasanah untuk menerajui usaha di peringkat komuniti seperti menjana pendapatan, memastikan tiada yang ketinggalan dalam pendidikan dan mempergiatkan program pemeriksaan kesihatan.
Ke arah memperkasa komuniti sebagai penggerak agenda kelestarian, kerajaan juga menyediakan RM20 juta kepada UNDP dan Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia bagi memperbanyak aktiviti program-program berkaitan SDG secara usaha sama di antara kerajaan, masyarakat setempat serta industri.
Yang Amat Berhormat Perdana Menteri ialah suri teladan buat kita semua kerana beliau berbangga memberi mesej tegas di pentas dunia dengan bahasa Melayu. Maka, memperkasa bahasa Melayu, Kementerian Luar Negeri disediakan
Datuk Seri Utama Tengku Zafrul bin Tengku Abdul Aziz
RM5 juta untuk berkolaborasi dengan agensi berkaitan bagi melaksanakan Program Diplomasi Bahasa dan Budaya ke arah pengantarabangsaan khazanah negara ini.
Di samping bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, kerajaan turut menyokong usaha untuk meraikan kepelbagaian di Malaysia dan memelihara pelbagai bahasa dan budaya lain khususnya di peringkat komuniti seperti Kadazan Dusun dan Siam dengan peruntukan RM10 juta. Beg yang saya gunakan hari ini untuk membawa buku ucapan Bajet 2023 ialah hasil penenun Sarawak daripada Tanoti sebuah perusahaan sosial di Sarawak.
[Tepuk] Corak tenunan songket pada beg ini melambangkan enam suku kaum utama di Sarawak iaitu Orang Ulu, Melayu, Bidayuh, Iban, Melanau dan Cina. Kepelbagaian motif tersebut bergabung untuk menghasilkan beg yang menarik ini.
Sama juga dengan kepelbagaian latar belakang kita di Malaysia. Jika digarap dan digabung akan membentuk Keluarga Malaysia yang kukuh dan harmoni. Kami berharap Bajet 2023 ini sedikit sebanyak dapat menyumbang kepada mengeratkan talian antara ahli Keluarga Malaysia, membantu semua yang perlu dan menyumbang kepada kesejahteraan dan kemakmuran negara.
[Minum air]
Beberapa Ahli
Angkat beg, angkat beg.
Datuk Seri Utama Tengku Zafrul bin Tengku Abdul Aziz
Beg Dato' Seri Hisham mahal sangat.
[Ketawa] Tuan Yang di-Pertua dan sekalian Keluarga Malaysia, kini sampailah kita di hujung pembentangan Bajet 2023 ini.
[Dewan riuh]
Datuk Seri Utama Tengku Zafrul bin Tengku Abdul Aziz
Alhamdulillah, tugas ini sudah hampir usai, amanah yang digalas dekat terlaksana.
Setahun dua yang lalu, negara diselubungi seribu kebimbangan dan ketidaktentuan. Kita telah menyaksikan pelbagai perit jerih demi kelangsungan rakyat dan peniaga. Hari ini, jalan raya kota kembali sesak dengan urusan warga kerja, anak-anak kembali girang berlari-lari di laman sekolah, di pintu-pintu sempadan kita berpusu-pusu pelawat keluar dan masuk ke tanah air.
Kini, cabaran faktor-faktor global luaran pula timbul, namun kerajaan tidak mengerti erti lelah dan akan terus nekad untuk menjadi dahan teguh bagi pautan rakyat yang memerlukan. Bajet 2023 ini diharap dapat menjadi penawar seterusnya kepada pelbagai keperihan yang dialami rakyat buat masa ini. Moga-moga ia dapat terus menyerlahkan jalan ke hari esok, di mana insya-Allah menanti masa depan yang lebih cerah.
Kepada Ahli-ahli Yang Berhormat saya menyeru, marilah sama mendukung bajet ini. Di bawahnya berteduh impian, terpancar harapan lebih 32 juta rakyat Malaysia. Itulah natijahnya, itulah momennya, inilah Bajet 2023. Kepada-Mu Ya Allah, kami tawakal dan berdoa. Semoga Keluarga Malaysia, makmur bersama.
Tuan Yang di-Pertua, saya mohon mencadangkan. *Wabillahitaufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
[Tepuk]*
Tuan Yang di-Pertua
Terima kasih Yang Berhormat Menteri Kewangan.
Ada sesiapa menyokong?
Menteri Kanan Kerja Raya - Dato' Sri Haji Fadillah bin Yusof
Tuan Yang di-Pertua, saya mohon menyokong.
Tuan Yang di-Pertua
Terima kasih Yang Berhormat Menteri Kanan.
Aziz]: Tuan Yang di-Pertua, saya mohon mencadangkan bahawa Usul di atas nama saya di dalam Aturan Urusan Mesyuarat yang berbunyi; “Bahawa Dewan ini, mengikut subseksyen 4(3) Akta Kumpulan Wang Pembangunan 1966 [Akta 406], membuat ketetapan iaitu suatu jumlah wang sebanyak tidak lebih dari sembilan puluh tujuh bilion ringgit (RM97,000,000,000) dibelanjakan daripada Kumpulan Wang Pembangunan bagi tahun 2023, dan bagi tujuan dan butiran Perbelanjaan Pembangunan yang dinyatakan di bawah Maksud Pembangunan atau (“P”) dalam senarai Anggaran Perbelanjaan Persekutuan 2023, yang dibentangkan sebagai Kertas Perintah 36 Tahun 2022, adalah diuntukkan di bawah Maksud- maksud yang berkenaan jumlah-jumlah yang bersetentangan dengan butiran-butiran itu di ruangan enam dan tujuh senarai tersebut, diserahkan kepada Jawatankuasa sebuah-buah Majlis.”
Tuan Yang di-Pertua
Ada sesiapa yang menyokong?
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna - Dato Sri Alexander Nanta Linggi
Tuan Yang di-Pertua, saya mohon menyokong.
Tuan Yang di-Pertua
Ahli-ahli Yang Berhormat, mengikut peruntukan Peraturan Mesyuarat 66(3), perbahasan di atas usul-usul bagi Bacaan Kali Yang Kedua atas Rang Undang-undang Perbekalan 2023, dan Usul Anggaran Perbelanjaan Pembangunan 2023, hendaklah ditangguhkan kepada suatu tarikh yang tidak kurang daripada dua hari, setelah usul-usul tersebut dicadangkan, dan disokong.
Ahli-ahli Yang Berhormat, QR Code teks ucapan Belanjawan 2023 oleh Yang Berhormat Menteri Kewangan telah dimasukkan ke dalam laptop di atas meja Ahli- ahli Yang Berhormat masing-masing. Ahli-ahli Yang Berhormat boleh mendapatkan teks ucapan tersebut dengan mengimbas QR Code tersebut.
Dengan demikian, mesyuarat Dewan hari ini ditangguhkan sehingga jam 10 pagi hari Selasa, 11 Oktober 2022. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan selamat petang.
[Dewan ditangguhkan pada pukul 6.12 petang]