Katalog Hansard
[Tuan Yang di-Pertua **mempengerusikan Mesyuarat****]
Tuan Yang di-Pertua
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Selamat sejahtera dan selamat pagi. Ahli-ahli Yang Berhormat, dengan sukacitanya saya memaklumkan kepada Majlis ini, iaitu pada hari Isnin, 28 Februari 2022 Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dengan limpah kurnia baginda telah berkenan menyampaikan Titah Diraja dalam Parlimen.
Saya telah menerima salinan Titah Diraja, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong itu dan seterusnya sekarang saya mengarahkan supaya salinan Titah Diraja itu dibentangkan di atas Meja Mesyuarat dan seterusnya dicetak dalam Penyata Rasmi.
[Salinan Titah Diraja adalah seperti di **Lampiran****]
Tuan Yang di-Pertua
Ahli-ahli Yang Berhormat, saya suka hendak memberitahu Majlis ini iaitu Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dengan limpah kurnia baginda telah memperkenankan akta-akta yang telah diluluskan dalam Mesyuarat Kedua, Penggal Keempat, Parlimen Keempat Belas yang lalu seperti berikut:
Akta Perbekalan 2022; 2. Akta Perihal Dagangan (Pindaan) 2021; 3. Akta Ordinan Peguam Bela (Sabah) (Pindaan) 2021; 4. Akta Kewangan 2021; 5. Akta Langkah-langkah Sementara bagi Mengurangkan Kesan Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19) (Pindaan) 2021; 6. Akta Lembaga Angkasa Malaysia 2022; 7. Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) (Pindaan) 2022; 8. Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran
(Pindaan) 2022; 9. Akta Perlembagaan (Pindaan) 2022; 10. Akta Hak Cipta (Pindaan) 2022; 11. Akta Pemuliharaan Hidupan Liar (Pindaan) 2022; dan 12. Akta Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (Pindaan) 2022.
Tuan Yang di-Pertua
Ahli-ahli Yang Berhormat, saya telah menerima satu perutusan daripada Tuan Yang di-Pertua Dewan Negara yang menyatakan persetujuan Dewan itu kepada rang undang-undang yang telah diluluskan oleh Dewan Rakyat dalam Mesyuarat Kedua, Penggal Keempat, Parlimen Keempat Belas 2021 yang lalu. Saya menjemput Setiausaha membacakan Perutusan itu sekarang.
[Setiausaha membacakan Perutusan] “28 Februari 2022 Perutusan Daripada Dewan Negara kepada Dewan Rakyat Tuan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Dewan Negara telah meluluskan rang undang-undang yang berikut tanpa pindaan:
Rang Undang-undang Ordinan Peguam Bela (Sabah) (Pindaan) 2021; 2. Rang Undang-undang Perbadanan Insurans Deposit Malaysia
(Pindaan) 2021; 3. Rang Undang-undang Perihal Dagangan (Pindaan) 2021; 4. Rang Undang-undang Lembaga Angkasa Malaysia 2020; 5. Rang Undang-undang Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan
(Pindaan) 2020; 6. Rang Undang-undang Kilang dan Jentera (Pemansuhan) 2020; 7. Rang Undang-undang Perbekalan 2022; 8. Rang Undang-undang Pemuliharaan Hidupan Liar (Pindaan) 2021, 9. Rang Undang-undang Harta Pusaka Kecil (Pembahagian)
(Pindaan) 2021; 10. Rang Undang-undang Langkah-langkah Sementara bagi Mengurangkan Kesan Penyakit Koronavirus (COVID-19) (Pindaan) 2021, 11. Rang Undang-undang Patern (Pindaan) 2021; 12. Rang Undang-undang Hak Cipta (Pindaan) 2021; 13. Rang Undang-undang Petunjuk Geografi 2021; 14. Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) 2021; 15. Rang Undang-undang Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Pindaan) 2021; dan 16. Rang Undang-undang Kewangan 2021.
Yang ikhlas, t.t YANG DI-PERTUA DEWAN NEGARA”
Tuan Yang di-Pertua
Terima kasih Setiausaha. Ini adalah pemasyhuran saya untuk Mesyuarat Pertama, Penggal Kelima, Parlimen Keempat Belas pada hari ini, 1 Mac 2022. Ahli-ahli Yang Berhormat, pandemik COVID-19 telah memasuki tahun ketiga dengan menyaksikan kemunculan varian baharu di seluruh dunia. Malaysia juga tidak terkecuali di mana varian Omicron telah mula dikesan seawal Disember tahun lalu.
Gelombang penularan varian Omicron ini telah menyebabkan kes positif COVID- 19 di Malaysia semakin meningkat dan membimbangkan sejak kebelakangan ini. Dalam memastikan Mesyuarat Pertama, Penggal Kelima, Parlimen Keempat Belas ini dapat dilaksanakan dengan keadaan lancar dan selamat, prosedur operasi standard (SOP) pelaksanaan persidangan Parlimen Fasa Keempat telah diedarkan di atas meja Ahli-ahli Yang Berhormat.
Tuan Yang di-Pertua
Ahli-ahli Yang Berhormat juga perlu menjalani ujian RTK Ag-Saliva secara berkala sepanjang tempoh persidangan ini. Ujian RTK Ag-Saliva untuk Ahli-ahli Yang Berhormat akan diadakan di Dewan Bankuet Parlimen Malaysia pada setiap hari Isnin dan Rabu seperti yang lalu. Ujian ini akan mengambil masa sekitar 20 minit dan dibuat apabila Yang Berhormat tiba di Parlimen. Pohon Ahli-ahli Yang Berhormat untuk hadir awal bagi mengelakkan sebarang kelewatan dalam urusan Yang Berhormat di Dewan Rakyat.
Ahli-ahli Yang Berhormat juga diminta untuk sentiasa memakai peletup muka
(face mask) sepanjang berada di dalam Dewan Rakyat. Walau bagaimanapun Ahli Yang Berhormat dibenarkan untuk membuka pelitup muka itu, face mask ketika berucap di dalam Dewan Rakyat dan perlu memakai semula pelitup muka dengan kadar segera selepas selesai berucap.
Ahli-ahli Yang Berhormat semua, akhir sekali di atas meja Ahli-ahli Yang Berhormat juga telah diletakkan jadual kementerian menjawab semasa Sesi Pertanyaan- pertanyaan bagi Jawab Lisan. Jadual ini akan diguna pakai bagi penentuan hari kementerian menjawab sepanjang mesyuarat pertama ini. Sekian, terima kasih.
Dipersilakan Setiausaha.
Tuan Khoo Poay Tiong - Kota Melaka
Tuan Yang di-Pertua, saya Kota Melaka.
Saya berdiri di atas Peraturan Mesyuarat 83(2), izinkan saya bacakan.
Tuan Yang di-Pertua
Tuan Khoo Poay Tiong - Kota Melaka
...(2).
Tuan Yang di-Pertua
Ya.
Tuan Khoo Poay Tiong - Kota Melaka
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Peraturan 83(2) mengatakan bahawa.
Tuan Yang di-Pertua
Yang Berhormat boleh tidak bangkitkan selepas sesi soal jawab pukul 12 nanti? Sebab ini...
Tuan Khoo Poay Tiong - Kota Melaka
Selepas soal jawab Menteri ke? Selepas jawab lisan.
Tuan Yang di-Pertua
Selepas soal jawab lisan semua ini pukul 12, sebab waktu itu waktu usul semua.
Tuan Khoo Poay Tiong - Kota Melaka
Tuan Yang di-Pertua masih chair?
Tuan Yang di-Pertua
Saya duduk pukul 12.
Tuan Khoo Poay Tiong - Kota Melaka
Tuan Yang di-Pertua ada?
Tuan Yang di-Pertua
Saya duduk pukul 12.
Tuan Khoo Poay Tiong - Kota Melaka
Okey, terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Tuan Yang di-Pertua
Okey. Memulakan Waktu Pertanyaan Menteri-menteri hari ini, saya ingin menjemput Yang Berhormat Tuan Haji Wan Hassan bin Mohd Ramli.
1. Tuan Haji Wan Hassan bin Mohd Ramli [Dungun] minta Perdana Menteri menyatakan langkah-langkah drastik yang diambil oleh kerajaan dalam menangani musibah banjir yang baru melanda negeri-negeri Pantai Timur pada waktu ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) - Datuk Dr. Haji Abd. Latiff bin Ahmad
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh Tuan Yang di-Pertua.
Dari Dungun pergi ke Setiu, Saya bangun hendak jawab soalan nombor satu. Tuan Yang di-Pertua, ada tujuh daerah di Kelantan yang terlibat dan lapan daerah di Terengganu terlibat dalam banjir sekarang ini. Antara tindakan-tindakan yang drastik yang diambil oleh kerajaan, baik Kerajaan Pusat, kerajaan negeri mahupun kerajaan tempatan adalah menyampaikan maklumat data serta arahan yang tepat dan awal.
Antara tindakan yang dibuat oleh NADMA melalui Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) telah mengeluarkan notis kesiapsiagaan kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dan juga daerah dan menerima response yang amat positif daripada agensi-agensi sejak 23 hari bulan dua.
Semua kita tahu bahawa banjir pemindahan peaknya, puncaknya antara 26 hingga 28 tetapi oleh kerana kita bekerjasama dengan MET dan maklumat-maklumat awal ini kita sampaikan kepada negeri dan juga daerah, maka kesiapsiagaan di peringkat negeri dan daerah di dua-dua negeri Kelantan dan Terengganu ini dapat dijalankan dengan suasana yang amat positif.
Mulai 26 Februari, mesyuarat Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) telah diadakan tiap-tiap hari dan ekoran daripada itu hari ini Tan Sri KSN akan mempengerusikan mesyuarat task force pengurusan banjir monsun laut yang kita jangkakan ini fasa keenam mungkin fasa terakhir bagi menangani isu-isu yang berkaitan.
Ekoran daripada itu 10,000 frontliner dapat digembleng bagi membuat operasi menyelamat ke tempat-tempat yang telah ditetapkan. Terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua
Soalan tambahan pertama.
Tuan Haji Wan Hassan bin Mohd Ramli - Dungun
Terima kasih atas jawapan yang diberikan. Seperti yang kita semua maklum bahawa apabila berlakunya banjir sangat terkesan kepada mangsa-mangsa banjir sebab Monsun Timur Laut ini. Jadi, adakah mereka ini masih layak untuk menerima bantuan wang ehsan melibatkan kepentingan menangani Monsun Timur Laut.
Kedua, saya juga pohon penjelasan supaya dalam pemberian bukan sahaja dilihat kepada mangsa-mangsa banjir tetapi juga kepada anak-anak mereka yang terlibat dengan peralatan persekolahan, pakaian dan lain-lain juga mesti diambil kira dalam sumbangan pemberian. Pohon penjelasan.
Datuk Dr. Haji Abd. Latiff bin Ahmad
Tuan Yang di-Pertua, terima kasih soalan dari Dungun. Yang Amat Berhormat Perdana Menteri akan melakukan lawatan esok di kedua-dua negeri dan saya kira pengumuman akan dibuat oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri mengenai bantuan wang ehsan dan bantuan-bantuan lain kepada mereka yang terkesan ekoran daripada bencana banjir di Pantai Timur. Terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua
Terima kasih. Ada soalan tambahan.
Puan Teo Nie Ching - Kulai
Soalan tambahan. Sini, sini.
Tuan Haji Ahmad bin Hassan - Papar
Papar, Papar.
Puan Teo Nie Ching - Kulai
Kulai.
Tuan Fong Kui Lun - Bukit Bintang
Tuan Yang di-Pertua, soalan tambahan.
Saya ingin bertanya Yang Berhormat Menteri. Berapa jumlah bilangan NGO dan
Tuan Fong Kui Lun - Bukit Bintang
sukarelawan yang membantu semasa banjir dan bilangan yang ditolak dan anggaran perbelanjaan yang terlibat. Minta penjelasan daripada Yang Berhormat Menteri.
Datuk Dr. Haji Abd. Latiff bin Ahmad
Terima kasih. Tuan Yang di-Pertua, saya tidak ada detail NGO tetapi kita secara dasarnya kita tidak pernah melarang mana-mana NGO untuk bekerjasama. Saya harap Yang Berhormat Bukit Bintang faham. Anggaran kepada kerugian di dua negeri iaitu Kelantan dan Terengganu masih dalam kajian. Terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua
Yang Berhormat Baling akhir sekali.
Datuk Seri Panglima Abdul Azeez bin Abdul Rahim - Baling
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Terima kasih Yang Berhormat Menteri. Saya faham soalan saya ini agak tidak kena dengan Yang Berhormat Menteri tetapi saya harap masuk dalam Hansard.
Tuan Yang di-Pertua
Ringkaskan Yang Berhormat Baling.
Datuk Seri Panglima Abdul Azeez bin Abdul Rahim - Baling
Memandangkan esok Yang Amat Berhormat Perdana Menteri hendak ke Kelantan dan Terengganu dan lawatan banjir. Berkenaan isu banjir ini saya amat dekat dengan saya, Yang Berhormat pun tahu.
Masalah sekarang ini yang ditanya oleh rakan-rakan tadi. Bagaimanakah langkah drastik itu dalam konteks NADMA, syabas dan tahniah teruskan usaha itu. Soalan saya satu sahaja. Bagaimana kita hendak dalam jangka masa yang panjang sebab kalau kita tengok bulan Februari, bulan Mac tidak pernah kita banjir di Kelantan atau di Terengganu.
Kita habis dalam bulan Januari sudah habis banjir selalunya. Tahun ini luar biasa.
Ini sebab saya fikir ada sebab-sebab yang boleh kita elakkan. Contohnya di Rantau Panjang, di Golok contohnya. Habis semua dia sudah selesaikan masalah banjir di kawasan negara Thailand. Di kawasan kita masih lagi tidak dapat dilaksanakan. Jadi kalau projek-projek tebatan banjir...
Tuan Yang di-Pertua
Soalan?
Datuk Seri Panglima Abdul Azeez bin Abdul Rahim - Baling
...Yang dapat dilaksanakan dalam masa yang cepat dan singkat tak kan mungkin banjir ini akan berlaku pada bulan Mac dan bulan April dan sebagainya. Terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua
Terima kasih.
Datuk Dr. Haji Abd. Latiff bin Ahmad
Tuan Yang di-Pertua, sebab itu kita panggil bencana. Kita tidak boleh elakkan tetapi kita kena ada usaha untuk mengurangkan disaster risk reduction itu. Kalau seingat saya, hanya satu sahaja bencana yang dapat tahu lebih awal, banjir zaman Nabi Nuh. Itu pun orang tidak boleh selamat juga walaupun sudah diberitahu.
Ekoran daripada itu, banyak jawapan-jawapan ini dapat dijawab dengan lebih jelas sewaktu bulan Disember kita bersidang itu hari. Yang Berhormat Menteri KASA telah memberi garis panduan dan sebenarnya telah pun dalam tindakan bagi memastikan yang sungai, mitigation apa semua dilakukan dan ini perlu kajian-kajian yang lebih terperinci bagi memastikan risiko bencana itu dapat kita kurangkan. Terima kasih Tuan Yang di- Pertua.
Tuan Yang di-Pertua
Terima kasih. Seterusnya...
Puan Nor Azrina binti Surip - Merbok
Tuan Yang di-Pertua.
Tuan Yang di-Pertua
...saya menjemput Yang Berhormat Tuan Wong Hon Wai.
Tuan Wong Hon Wai - Bukit Bendera
Selamat pagi dan terima kasih kepada Tuan Yang di-Pertua. Sebelum saya memulakan soalan proper saya, saya ingin– Hari ini ialah sambutan Hari Tentera Darat ke-89 – 1 Mac. Saya ingin memberikan penghormatan saya dan juga Ahli Parlimen kepada anggota Tentera Darat, veteran dan ahli keluarga
Tuan Wong Hon Wai - Bukit Bendera
mereka kerana menjaga keselamatan, kedaulatan dan kemakmuran negara. Tahniah dan syabas.
2. Tuan Wong Hon Wai [Bukit Bendera] minta Menteri Alam Sekitar dan Air menyatakan pendirian kementerian dalam kawal selia aktiviti perniagaan karbon (carbon trading) seperti perjanjian perniagaan karbon antara Kerajaan Negeri Sabah dengan syarikat asing.
Menteri Alam Sekitar dan Air - Dato’ Sri Tuan Ibrahim bin Tuan Man
Bismillahi Rahmani Rahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan selamat pagi semua. Pertama sekali, terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Saya ingin merakamkan ucapan penghargaan terima kasih kepada Yang Berhormat Bukit Bendera yang atas keprihatinan beliau, membangkitkan isu mekanisme perdagangan karbon ataupun pasaran karbon kredit termasuk isu mengenai Perjanjian Konservasi Alam Semulajadi atau Nature Conservation Agreement (NCA), dengan izin, antara Kerajaan Negeri Sabah dengan syarikat berdaftar di Singapura.
Sebelum saya memberikan pandangan mengenai perjanjian NCA, izinkan saya untuk memberikan penjelasan mengenai pendirian, dasar dan inisiatif kerajaan berkaitan mekanisme pasaran karbon di bawah Kementerian Alam Sekitar dan Air.
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, antara keputusan utama Persidangan COP26 di Glasgow, Scotland pada hujung tahun 2021 ialah mengenai prinsip asas bagi pelaksanaan mekanisme pasaran karbon. Antara keputusan utama dicapai dalam keputusan, keperluan wajib untuk membuat pelarasan perbadanan (correspondence adjustment) bagi mengelakkan pengiraan berganda (double counting), dengan izin, bagi semua transaksi kredit karbon yang melibatkan negara.
Dalam masa yang sama, keputusan rundingan juga menyatakan bahawa semua transaksi kredit karbon yang melibatkan pemindahan antarabangsa (international transfer) dengan izin, perlu mendapatkan kebenaran national authority melalui kerangka institusi yang dibentuk.
Selain itu juga, keputusan rundingan turut menyatakan mengenai keperluan untuk membangunkan had transaksi dan mekanisme kawal selia bagi transaksi kredit karbon antarabangsa. Ini adalah penting bagi memastikan transaksi kredit karbon antarabangsa adalah telus, tidak dilaksanakan sewenang-wenangnya serta mengambil kira kepentingan pemegang taruh yang berkaitan.
Berdasarkan keputusan rundingan UNFCCC tersebut, adalah jelas peranan penting Kementerian Alam Sekitar dan Air selaku national authority berkaitan mekanisme pasaran karbon negara. Bagi tujuan ini KASA bertanggungjawab untuk memberikan kebenaran semua transaksi antarabangsa kredit karbon dan melaksanakan pelarasan perbadanan bagi menjamin ketelusan pelaksanaan. Dalam masa yang sama, KASA juga bertanggungjawab untuk membangunkan infrastruktur asas bagi pemantauan dan menjejaki transaksi kredit karbon negara dan menyediakan laporan penglibatan negara dalam mekanisme pasaran karbon.
Laporan penglibatan negara dalam mekanisme pasaran karbon ini juga melalui proses penilaian oleh pasukan pakar yang dilantik oleh UNFCCC sepertimana yang telah diputuskan oleh Jemaah Menteri baru-baru ini. Sehubungan dengan itu, KASA berpendirian bahawa sebarang usaha dan penglibatan dalam mekanisme pasaran karbon perlu dirujuk dan dilaporkan kepada KASA melalui national authority yang diiktiraf oleh UNFCCC.
Tuan Haji Ahmad bin Hassan - Papar
[Bangun]
Dato’ Sri Tuan Ibrahim bin Tuan Man
Perkara ini penting penting untuk penglibatan negara dalam mekanisme pasaran karbon antarabangsa– berpotensi untuk menjejaskan pencapaian NDC dan aspirasi jangka panjang pelepasan sifar bersih negara.
Untuk maklumat Ahli Yang Berhormat, Kerajaan Persekutuan tidak dimaklumkan, tidak dirujuk dan tidak dilibatkan oleh Kerajaan Negeri Sabah dalam proses rundingan bagi perjanjian NCA tersebut.
Dato’ Sri Tuan Ibrahim bin Tuan Man
Sehubungan dengan itu, KASA tidak dapat memberikan penjelasan terperinci mengenai kandungan perjanjian. Maklumat yang diterima oleh kementerian hanyalah melalui kenyataan media dan kenyataan bertulis daripada wakil Kerajaan Negeri Sabah dilaporkan dalam media massa.
Sekiranya perjanjian NCA tersebut mempunyai aspek transaksi kredit karbon antarabangsa, maka ia akan memberikan impak secara langsung kepada pencapaian NDC dan aspirasi pelepasan GHG sifar bersih negara. Kementerian Alam Sekitar dan Air juga sentiasa mengalu-alukan Kerajaan Negeri Sabah untuk rujuk dan melibatkan Kerajaan Persekutuan dan pengantara yang lain dalam perbincangan berkaitan perjanjian NCA dan mekanisme pasaran karbon pada masa yang akan datang. Terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua
Silakan, soalan tambahan pertama.
Tuan Wong Hon Wai - Bukit Bendera
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Saya mendengar jelas jawapan Yang Berhormat Menteri bahawa perkara ini tidak dirujuk kepada Kerajaan Persekutuan. Soalan saya, maksudnya tidak ada mechanism dan perundangan sedia ada untuk kawal selia kerana carbon credit ini perkara yang sangat baharu. Sangat baharu, terkini.
Sama ada terdapat satu usaha oleh Kerajaan Persekutuan untuk membuat majlis carbon credit untuk perbincangan dengan negeri-negeri, bukan sahaja Sabah, Sarawak, di Pahang dan negeri-negeri lain juga yang mempunyai reserve perhutanan yang banyak dan sama ada ada satu usaha untuk meminda ataupun mewujudkan undang-undang baharu atau pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan berkenaan dengan perkara carbon credit ini kerana melibatkan natural reserve dan juga kuasa-kuasa persekutuan dan negeri. Minta penjelasan Yang Berhormat Menteri. Terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua
Silakan, Yang Berhormat Menteri.
Dato’ Sri Tuan Ibrahim bin Tuan Man
Terima kasih. Untuk makluman, bahawa kita di peringkat Kementerian, kita sedang merangka kerangka asas kepada perundangan yang melibatkan– dan dijangka pada hujung tahun ini kita akan selesai. Untuk makluman juga, bahawa pihak Kementerian Alam Sekitar dan Air telah membangunkan panduan pasaran karbon sukarela atau voluntary carbon market (VCM) sebagai panduan umum kepada mana-mana entiti dalam negara seperti pihak swasta ataupun pihak kerajaan negeri yang ingin terlibat dalam pasaran karbon sukarela dan karbon antarabangsa.
Jemaah Menteri juga telah bersetuju, untuk makluman Dewan yang mulia, dengan cadangan Kementerian Alam Sekitar dan Air untuk membangunkan platform tunggal perdagangan karbon dan ini telah pun kita bincang dengan pihak Bursa Malaysia dan insya-Allah pada penghujung tahun 2022, pihak Bursa Malaysia dijangka siap membangunkan fasa pembangunan bagi urus niaga karbon di peringkat negara.
Soal untuk wujudkan pindaan perlembagaan, saya fikir tidak ada keperluan untuk itu...
Tuan Chan Foong Hin - Kota Kinabalu
[Bangun]
Dato’ Sri Tuan Ibrahim bin Tuan Man
...kerana kita telah pun telah dijamin dalam hak transaksi itu mesti melibatkan pihak autoriti yang telah disebut, disahkan oleh pihak Kerajaan Malaysia. Jadi, mana-mana transaksi mestilah melibatkan Kerajaan Pusat dan pihak berautoriti yang telah dijamin dalam perlembagaan. Terima kasih.
Tuan Chan Foong Hin - Kota Kinabalu
Kota Kinabalu.
Tuan Haji Ahmad bin Hassan - Papar
Sabah, Sabah. Papar.
Tuan Yang di-Pertua
Sekejap. Ada soalan tambahan sebelah sini?
Tuan Haji Ahmad bin Hassan - Papar
Papar.
Tuan Chan Foong Hin - Kota Kinabalu
Kota Kinabalu.
Tuan Yang di-Pertua
Kalau tidak ada, silakan Yang Berhormat Papar.
Tuan Haji Ahmad bin Hassan - Papar
Terima kasih, Tuan Yang di-Pertua.
Memang. Memang Perjanjian Perniagaan Karbon...
Tuan Yang di-Pertua
Ringkas ya, ringkas.
Tuan Haji Ahmad bin Hassan - Papar
Okey. Antara negeri Sabah dan syarikat asing ini memang menjadi buah mulut di Kota Kinabalu ataupun di Sabah, di mana ia melibatkan lebih daripada dua juta hektar tanah yang akan digadai selama 100 tahun campur 100 tahun. Ini akan mendatangkan hasil dalam lingkungan RM80 bilion. Soalan kita ialah kita menggunakan orang tengah iaitu syarikat Hoch Standard Pte. Ltd. yang mana pada ketika itu diperbadankan pada tahun 2019 dan hanya mempunyai paid-up capital USD 1,000.
Jadi soalan saya, adakah orang kita memerlukan orang tengah untuk projek sebesar ini, di mana saya difahamkan syarikat yang mengendalikan program ini adalah tidak berkemampuan dan tidak berkelayakan?
Jadi, 2 ratus juta hektar tanah yang akan digunakan ini adalah terlalu besar dan masanya juga terlalu banyak dan panjang. Jadi, kalau saya sebagai orang Sabah, daripada menggadaikan tanah ini, adalah lebih baik kita berikan kepada orang Sabah supaya orang-orang Sabah yang tidak ada tanah itu dapat mengerjakan tanah ini...
Tuan Yang di-Pertua
Yang Berhormat.
Tuan Haji Ahmad bin Hassan - Papar
...untuk kehidupan mereka.
Tuan Yang di-Pertua
Tolong jangan berdebat.
Tuan Haji Ahmad bin Hassan - Papar
Soalan saya...
Tuan Yang di-Pertua
Soalannya sudah tanya tadi.
Tuan Haji Ahmad bin Hassan - Papar
Soalan lagi, soalan.
Tuan Yang di-Pertua
Sudah tiga soalan.
Tuan Haji Ahmad bin Hassan - Papar
[Ketawa] Ada soalan lagi satu.
Seorang Ahli
Soalan sini, soalan sini.
Tuan Haji Ahmad bin Hassan - Papar
Penghabisan. Soalan penghabisan.
Tuan Yang di-Pertua
Lima saat. Lima saat.
Tuan Haji Ahmad bin Hassan - Papar
Okey. Soalan saya, apakah kerajaan negeri sudah membuat feasibility study ataupun timbang tara sebelum kita membuat keputusan untuk melanjutkan pelaksanaan program ini? Terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua
Terima kasih. Jangan berdebat.
Dato’ Sri Tuan Ibrahim bin Tuan Man
Baik, terima kasih Yang Berhormat Papar. Saya cuma maklum bahawa kita kementerian tidak dirujuk dan saya fikir soalan itu sepatutnya dibincangkan dengan pihak kerajaan negeri, apakah kerajaan ini telah mengadakan. Cuma mekanisme yang kita bangunkan ini, pertama sekali kita laksanakan proses urus niaga karbon ini di peringkat syarikat-syarikat tempatan sebab kita ada hak pelaporan kita pada UNFCCC. Sebarang urus niaga melibatkan pihak luar, menyebabkan pelaporan kita akan merosot dan kita tidak dapat memenuhi keperluan jangka panjang untuk net zero kita 2050.
Jadi untuk makluman Dewan yang mulia, hingga setakat ini kita difahamkan bahawa hanya ada peringkat perundingan, belum ada binding mana-mana perjanjian dibuat secara rasmi dengan pihak itu. Cuma di peringkat perundingan sahaja saya difahamkan begitu. Walau bagaimanapun, pihak kami akan berurusan dengan pihak kerajaan negeri untuk dapat penjelasan lebih lanjut. Ini bukan sahaja Sabah, mana-mana negeri yang terlibat dalam urus niaga dia mesti refer kepada Kementerian Alam Sekitar dan Air sebagai national authority bagi membincangkan perkara ini. Terima kasih.
3. Dato' Syed Abu Hussin bin Hafiz Syed Abdul Fasal [Bukit Gantang] minta Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi menyatakan motif utama organisasi Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dikorporatkan. Apakah ia tidak bercanggah dengan tujuan asal penubuhannya untuk membantu dan membimbing usahawan kecil di kawasan luar bandar. Setakat hari ini, berapa ramai sahabat AIM berdaftar di seluruh negara. Negeri manakah yang paling ramai dan kebanyakannya apakah jenis perniagaan yang diceburi.
Adakah AIM mewujudkan koperasi untuk sahabat-sahabat berkenaan mengikut daerah atau zon.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi - Tan Sri Noh bin Haji Omar
Terima kasih Yang Berhormat. Tuan Yang di-Pertua, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) telah ditubuhkan di bawah Akta Pemegang Amanah (Pemerbadanan) 1952 [Akta 248], melalui surat ikatan amanah, Amanah Ikhtiar bertarikh 17 September 1987. Saya ingin tegaskan bahawa Amanah Ikhtiar Malaysia tidak pernah dikorporatkan dan perjalanan urus tadbir Amanah Ikhtiar tidak bercanggah dengan matlamat asal penubuhannya iaitu bagi membantu golongan berpendapatan rendah, terutamanya kaum wanita.
Sehingga Disember 2021, jumlah Sahabat Usahawan AIM yang aktif adalah seramai 341,034 orang dengan negeri Sabah merekodkan bilangan Sahabat aktif paling tinggi iaitu seramai 57,594 orang Sahabat. Jenis perniagaan yang paling ramai diceburi adalah seperti berikut iaitu:
(i) perniagaan penjaja kecil;
(ii) jualan langsung;
(iii) pasar mini ataupun kedai runcit;
(iv) pasar tani ataupun pasar malam; dan
(v) bakeri.
Ia melibatkan seramai 126,545 orang Sahabat aktif dengan pembiayaan berjumlah RM936.29 juta. Berkenaan dengan koperasi, Amanah Ikhtiar telah pun menubuhkan koperasi yang dipanggil Koperasi Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia Berhad
(Koop Sahabat) dengan jumlah anggota seramai 243,193 orang yang telah didaftarkan pada 30 Ogos 2012 dan jumlah modal syer terkumpul adalah sebanyak RM56.26 juta.
Tahun lepas sahaja dividennya 8.5 peratus. Terima kasih.
Dato’ Syed Abu Hussin bin Hafiz Syed Abdul Fasal - Bukit Gantang
Terima kasih Yang Berhormat Menteri. Tuan Yang di-Pertua, Yang Berhormat Menteri telah menyatakan dengan tegas bahawa Amanah Ikhtiar ini tidak akan dikorporatkan. Terima kasih sekali lagi. Model yang dilaksanakan oleh kerajaan, melaksanakan Amanah Ikhtiar ini satu model yang sangat berjaya. It is a success model. Setakat maklumat yang kita dapat bahawa model ini dibuat secara kecil-kecilan. Saya ingin mencadangkan supaya ditingkatkan pemberian modal dan usahawan supaya mereka dapat bergiat dengan lebih dalam kawasan yang lebih besar supaya perniagaan lebih berkembang dan mewujudkan satu rantaian perniagaan yang baharu. Terima kasih.
Tan Sri Noh bin Haji Omar
Terima kasih Yang Berhormat kerana memberi– prihatin mengenai Amanah Ikhtiar dan cadangan Yang Berhormat saya akan ambil kira.
Namun demikian untuk makluman Yang Berhormat, kita juga ada satu Program Groom Big namanya. Groom Big ini ialah kita telah pun membuat satu persefahaman dengan agensi-agensi lain di bawah MEDAC.
Ini kerana kita sedia maklum bahawa Amanah Ikhtiar hanya boleh memberi pinjaman maksimum RM30,000. Jadi, kalau mereka yang berjaya hendak meminjam lebih RM30,000, katalah saya bagi RM100,000 maka mereka ini boleh meminjam terus kepada TEKUN yang akan memberikan auto fast lane. Ertinya dengan memberikan kelulusan yang istimewa kepada mereka yang berjaya.
Tan Sri Noh bin Haji Omar
Seperti Yang Berhormat katakan, saya juga ingin memaklumkan kepada Yang Berhormat bahawa atas usaha Amanah Ikhtiar yang bermula dengan kumpulan usahawan ataupun golongan wanita yang – paras kemiskinan ini. Akan tetapi hari ini alhamdulillah daripada rekod yang diberikan bahawa ada 33.9 peratus iaitu 144,397 orang telah pun melepasi paras B40. Jadi, saya tengok Amanah Ikhtiar ini berjaya mencapai matlamat ditubuhkan. Terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua
Terima kasih. Silakan, Yang Berhormat Sungai Siput.
Datuk Dr. Hasan bin Bahrom - Tampin
Tampin.
Tuan Kesavan a/l Subramaniam - Sungai Siput
Terima kasih, Tuan Yang di- Pertua. Soalan tambahan saya kepada Menteri berkaitan dengan Amanah Ikhtiar Malaysia, di mana matlamat asal penubuhan adalah untuk membantu golongan miskin berasaskan kemahiran dalam usaha menambah pendapatan. Amanah Ikhtiar Malaysia ini ditubuhkan dengan merujuk kepada Bank Grameen di Bangladesh, di mana pengasasnya adalah Muhammad Yunus yang merupakan salah seorang penerima anugerah Nobel.
Amanah Ikhtiar juga adalah untuk membantu golongan fakir miskin, miskin papa kedana tanpa mengira fahaman politik, agama dan kaum.
Tuan Yang di-Pertua
Soalannya.
Tuan Kesavan a/l Subramaniam - Sungai Siput
Soalan saya Tuan Yang di- Pertua, di Parlimen saya Sungai Siput, ada aduan daripada masyarakat miskin yang berniaga di mana apabila mereka pergi ke pejabat Amanah Ikhtiar Malaysia cawangan Sungai Siput, mereka tanya, “Awak ini daripada parti mana?” Kalau tidak– menyertai parti politik sama ada MIC atau UMNO. Jadi ,penubuhan asal adalah untuk membantu tanpa fahaman politik.
Jadi Tuan Yang di-Pertua, saya merujuk kepada buku Thirukkural iaitu art of living philosophy...
Tuan Yang di-Pertua
Soalan, soalan.
Tuan Kesavan a/l Subramaniam - Sungai Siput
...yang merujuk kepada soalan saya ini, di mana dengan izin, Tuan Yang di-Pertua.
[Bercakap dalam bahasa Tamil] Maksudnya, the only gift is giving to the poor. Or else it is exchange. Jadi, dalam bahasa...
Tuan Yang di-Pertua
Yang Berhormat.
Tuan Kesavan a/l Subramaniam - Sungai Siput
...satu-satunya pemberian adalah memberi kepada golongan miskin.
Tuan Yang di-Pertua
Yang Berhormat...
Tuan Kesavan a/l Subramaniam - Sungai Siput
Yang lain adalah... [Pembesar suara dimatikan]
Tuan Yang di-Pertua
Yang Berhormat. Yang Berhormat, tolong jangan berbahas. Soalannya, soalan.
Tuan Kesavan a/l Subramaniam - Sungai Siput
Amanah Ikhtiar Malaysia yang di bawah pengurusan sekarang ini menjadi platform politik, jadi pertukaran politik.
Tuan Yang di-Pertua
Soalannya.
Tuan Kesavan a/l Subramaniam - Sungai Siput
*You help me, I help you.
[Pembesar suara dimatikan]*
Tuan Yang di-Pertua
Yang Berhormat, last warning. Soalan please.
Tuan Kesavan a/l Subramaniam - Sungai Siput
[Bercakap tanpa menggunakan pembesar suara] Terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua
Apa soalan dia?
Tan Sri Noh bin Haji Omar
Saya faham, saya faham soalan dia.
Tuan Yang di-Pertua
Oh!
Tan Sri Noh bin Haji Omar
Kaum India mendakwa bahawa Amanah Ikhtiar ini, peminjam mengatakan hanya diberikan kepada penyokong-penyokong politik parti-parti tentu, itu maksudnya. Jadi, saya hendak jelaskan bahawa apa Yang Berhormat cakap itu betul. Itulah yang Amanah Ikhtiar laksanakan. Kita tidak– Masakan kita boleh dapat kalau kita hendak tanya seseorang itu orang UMNO, orang MIC. Takkan kita dapat 350,000.
Tan Sri Noh bin Haji Omar
Kita telah berjaya saya katakan tadi mengeluarkan daripada kumpulan B40 ini seramai 124,357 orang. Sebanyak 33 peratus sudah keluar.
Jadi, kalau ada dakwaan yang mengatakan Amanah Ikhtiar ini digunakan untuk platform politik itu adalah tidak betul dan tidak benar sama sekali. Kita tidak pernah gunakan. Saya percaya, semasa kita UMNO jadi pembangkang, Amanah Ikhtiar berjalan seperti biasa. Apabila PN pula memerintah, Amanah Ikhtiar berjalan seperti biasa. Malah hari ini di dalam – kalau kata politik, Pengerusi Amanah Ikhtiar ialah daripada BERSATU, saya daripada UMNO, tidak timbul masalah politik.
Jadi, kalau ada dakwaan mengatakan Amanah Ikhtiar digunakan untuk politik, saya menafikan sekeras-sekerasnya dan Yang Berhormat boleh beritahu kepada saya, mana pegawai Amanah Ikhtiar yang menggunakan Amanah Ikhtiar untuk kepentingan politik. Saya hendak tahu nama ini. Jangan tuduh macam itu, bagi nama dan jangan hendak buat tuduhan begitu, tidak baik. Kasihan.
Tuan Kesavan a/l Subramaniam - Sungai Siput
Ini berlaku di kawasan Parlimen Sungai Siput.
Tan Sri Noh bin Haji Omar
Okey, bagi nama pegawai itu kepada saya.
Tuan Kesavan a/l Subramaniam - Sungai Siput
Saya akan... [Pembesar suara dimatikan]
Tuan Yang di-Pertua
Yang Berhormat.
Tan Sri Noh bin Haji Omar
Yang Berhormat bagi nama kepada saya, saya akan panggil pegawai ini untuk hendak dapat kepastian. Betul atau tidak betul. Bahawa dan saya hendak tengok nanti, Amanah Ikhtiar adakah semua orang UMNO sahaja menjadi ahli? Adakah semua MIC sahaja menjadi ahli? Kalau saya dapat buktikan yang dia itu ahli PKR, ahli DAP, adakah Yang Berhormat boleh menerimanya? Saya akan buat kajian, apakah benar semua ahli Amanah Ikhtiar Sungai Siput ini terdiri daripada ahli-ahli UMNO ataupun ahli-ahli MIC seperti Yang Berhormat dakwa.
Jadi, jangan gunakan politik. Kita hendak tolong orang miskin, tubuhkan Amanah Ikhtiar itu untuk tolong orang miskin. Jangan sekali-kali kita mempolitikkan isu dan membabitkan rakyat miskin di bawah sana. Kita bangun membela nasib orang-orang miskin. Terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua
Terima kasih. Yang Berhormat semua...
Tuan Kesavan a/l Subramaniam - Sungai Siput
Tuan Yang di-Pertua, boleh dapat satu soalan lagi?
Tuan Yang di-Pertua
...sekarang tamatlah sesi untuk waktu pertanyaan- pertanyaan Menteri pada hari ini. Terima kasih, Ahli-ahli Yang Berhormat.
[Sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri tamat]
1. Dato' Sri Haji Tajuddin bin Abdul Rahman [Pasir Salak] minta Perdana Menteri menyatakan kenapa masih berlakunya kelemahan di dalam sistem pelaksanaan dan penyampaian (delivery system) kerajaan dan apakah langkah-langkah yang diambil untuk mengatasinya.
Perdana Menteri - Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob
Terima kasih Yang Berhormat Pasir Salak atas soalan ini.
Tuan Yang di-Pertua serta Yang Berhormat, kerajaan sentiasa menambah baik sistem penyampaian kerajaan dari semasa ke semasa melalui maklum balas dari semua pihak, baik daripada rakyat, pihak swasta, NGO, ahli akademik dan termasuk juga Ahli- ahli Yang Berhormat di Dewan yang mulia ini.
Menyedari masih berlakunya kelemahan, kerajaan komited untuk membuat penambahbaikan yang akan dilaksanakan secara berterusan untuk memastikan kecekapan dan keberkesanan sistem ini sentiasa ditambah baik.
Bagi mengatasi kelemahan yang timbul, pertama sekali kerajaan akan memberikan fokus dalam memberi wajah baharu kepada penjawat awam dan juga landskap baharu dalam organisasi awam.
Pembaharuan ini bertujuan untuk menjadikan sistem penyampaian kerajaan lebih bersifat people-centric dan memudah cara urusan rakyat serta tidak lagi dibebani dengan kerenah birokrasi. Sebagai contoh, antara penambahbaikan yang telah dilaksanakan adalah meliputi kesegeraan penyaluran pelbagai bantuan termasuk bantuan tunai, geran, pinjaman mudah dan sebagainya dengan mengurangkan kerenah birokrasi.
Kita dapat lihat bagaimana Bantuan Wang Ehsan yang dapat disalurkan dalam tempoh yang paling cepat dalam sejarah bantuan banjir yang berlaku pada penghujung tahun 2021. Buat pertama kali, kerajaan menyediakan tiga kaedah penyaluran kepada mangsa banjir, sama ada melalui penyerahan tunai di pusat pemindahan sementara, rumah ke rumah dan juga pembayaran atas talian. Semestinya langkah yang diambil oleh kerajaan ini dipacu oleh perkhidmatan awam yang cekap dan juga organisasi yang dinamik serta bersifat facilitative.
Dalam hubungan ini, saya akan memastikan semua organisasi awam akan lebih efisien dan efektif dengan mempunyai saiz, struktur dan fungsi yang bersesuaian serta tiada pertindihan fungsi. Kita akan meneliti, mengkaji fungsi sedia ada dan melakukan rekayasa (business process re-engineering) bagi memastikan ia sentiasa relevan dan memenuhi keperluan semasa serta mendatang.
Fungsi yang tidak lagi relevan perlu dijumudkan bagi membolehkan kita melaksanakan fungsi yang terkini dengan lebih berkesan.
Tuan Yang di-Pertua, boleh sambung?
Tuan Yang di-Pertua
Silakan.
Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob
Kerajaan juga telah menggariskan agar sistem penyampaian Perkhidmatan Awam didorong oleh inisiatif baharu melalui pendekatan seperti penerapan lima nilai iaitu pantas, pengetahuan bertaraf dunia, memberi inspirasi, fleksibel dan berasaskan teknologi.
Dalam memacu Ekonomi Digital Malaysia, kerajaan sentiasa memastikan sistem penyampaian Perkhidmatan Awam mendukung transformasi Malaysia menjadi peneraju Ekonomi Digital serantau agar dapat memupuk serta membina masyarakat yang lebih progresif. Kita perlu menyediakan platform perkhidmatan yang kukuh, holistik dan kalis masa hadapan.
Sehubungan dengan itu, kerajaan akan memastikan Perkhidmatan Awam sentiasa mengadaptasi semangat Keluarga Malaysia. Keluarga Perkhidmatan Awam, di mana setiap kementerian dan agensi akan saling bantu-membantu dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan seterusnya memajukan negara.
Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob
Kerajaan memahami bahawa penyampaian melalui teknologi digital amat kritikal dalam mengurangkan kerenah birokrasi terutama melibatkan perkhidmatan kaunter. Bagi tujuan tersebut, melalui inisiatif Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL) telah menyasarkan perkhidmatan kerajaan secara end-to-end sebanyak 80 peratus menjelang tahun 2025.
Perkara ini akan dapat memacu transformasi sektor awam untuk menjadi kerajaan digital dengan memanfaatkan teknologi data dan kecerdasan digital, meningkatkan set kemahiran digital penjawat awam dan meningkatkan kualiti perkhidmatan dalam talian. Ini juga akan meningkatkan kedudukan negara dalam penarafan World Digital Competitiveness Ranking.
Tuan Yang di-Pertua
Terima kasih, soalan tambahan pertama Yang Berhormat.
Dato' Sri Haji Tajuddin bin Abdul Rahman - Pasir Salak
Terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri yang telah pun menjelaskan dengan begitu jelas sekali berkaitan dengan delivery system ataupun sistem penyampaian ini. Peranannya penting bagi memastikan perjalanan agenda kerajaan itu dapat dilakukan secara terbaik.
Soalan saya – minta kebenaran sedikit daripada Tuan Yang di-Pertua. Ingin bertanya kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, apakah pihak kerajaan akan melaksanakan work from home? Bekerja dari rumah ini merupakan satu kaedah yang penting dalam delivery system ini, sistem penyampaian ini dan sistem untuk melaksanakan tugas-tugas kerja mereka. Ini kerana, saya rasa ia memberikan manfaat yang banyak terutamanya mengatasi masalah pembantu sama ada pembantu rumah ataupun pembantu apa jualah dalam kalangan keluarga yang hari ini susah benar untuk mendapatkan pembantu ini. Suri rumah yang bekerja susah hendak dapat pembantu rumah.
Lagi satu kita juga dapat menyelamatkan millions of man-hours.
Tuan Yang di-Pertua
Ringkas, Yang Berhormat.
Dato’ Sri Haji Tajuddin bin Abdul Rahman - Pasir Salak
Kita dapat menyelamatkan berjuta-juta man-hours atau masa. Terperangkap dalam traffic jam, travelling time dari rumah ke tempat kerja dan sebagainya. Jadi, ini membawa kesan kepada prestasi delivery system. Terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua
Terima kasih, silakan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri.
Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob
Terima kasih. Yang Berhormat, sebenarnya work from home ataupun bekerja dari rumah sedang dilaksanakan.
Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob
Kita memulakan kerja dari rumah ini sewaktu PKP dulu. Perintah Kawalan Pergerakan di mana pekerja-pekerja ataupun semua pejabat kerajaan ditutup, sebahagian besarnya ditutup dan sebagainya. Ketika itu, peratusan ratio bekerja dari rumah, nisbahnya ialah 60 peratus dari rumah dan 40 peratus– Sebanyak 40 peratus dari rumah dan 60 peratus daripada office. Namun, apabila PKP telah pun ditamatkan, ketika ini masih lagi ada bekerja dari rumah iaitu sebanyak 20 peratus, manakala 80 peratus bekerja daripada office. Kita dapati daripada segi produktiviti, bekerja dari office lebih baik berbanding dengan bekerja dari rumah. Akan tetapi walau bagaimanapun, ada beberapa jenis kerja yang boleh dibuat dari rumah.
Sebagai contoh, research boleh dilakukan dari rumah. Pekerja pegawai undang- undang misalnya, daripada segi mengkaji kes dan sebagainya atau membuat untuk menyediakan kontrak dan sebagainya, boleh dilakukan dari rumah. Akan tetapi sektor kritikal, jabatan-jabatan yang kritikal seperti jabatan kesihatan, ada untuk kes yang melibatkan perkhidmatan (services) dan sebagainya mesti dilakukan dari office. Jadi, kesimpulannya, kita masih lagi melakukan kerja dari rumah tetapi dalam kes-kes tertentu dan percentagenya ketika ini hanya 20 peratus saja. Terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua
Terima kasih. Yang Berhormat Rasah, silakan. Yang Berhormat Rasah.
Tuan Cha Kee Chin - Rasah
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua atas peluang yang diberikan. Terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri yang hadir pada pagi ini. Saya meneliti jawapan daripada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri yang menunjukkan komitmen daripada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri sendiri berkenaan dengan pelaksanaan dan penyampaian.
Yang Amat Berhormat Perdana Menteri sebut bantuan wang ihsan kepada mangsa banjir semua itu, saya rasa tidak ada masalah. Semua, semua menghargai kelajuan bantuan dihulurkan. Cuma, satu perkara saya rasa Yang Amat Berhormat Perdana Menteri sebab pagi ini ada di sini, saya lari sikit daripada tajuk ini tetapi berkaitan.
Ia sangat rapat dengan rakyat, berkenaan dengan kos sara hidup, terutama minyak masak bersubsidi dalam paket...
[Tidak jelas]
Tuan Yang di-Pertua
Yang Berhormat, itu tidak ada kena mengena dengan soalan asal.
Tuan Cha Kee Chin - Rasah
Ya, ya. Tuan Yang di-Pertua, saya hendak minta pandangan daripada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri supaya...
Tuan Yang di-Pertua
Saya tidak benarkan. Soalan kena bersangkut-paut dengan soalan yang pertama itu. Maaf.
Tuan Lim Lip Eng - Kepong
Soalan beri saya...
Tuan Cha Kee Chin - Rasah
Akan tetapi Yang Amat Berhormat Perdana Menteri boleh jawab.
Tuan Lim Lip Eng - Kepong
Beri saya.
Seorang Ahli
[Bercakap tanpa menggunakan pembesar suara] Beri Yang Berhormat Kepong.
Tuan Yang di-Pertua
Yang Amat Berhormat Perdana Menteri hendak jawab kah?
Tuan Lim Lip Eng - Kepong
Soalan tambahan beri saya.
Tuan Yang di-Pertua
Soalan tidak ada kena mengena.
Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob
Tidak apa, saya beri...
Seorang Ahli
[Bercakap tanpa menggunakan pembesar suara] Yang Berhormat Kepong. Yang Berhormat Kepong.
Tuan Lim Lip Eng - Kepong
Kepong, Kepong.
Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob
Oleh sebab ada soalan, saya beri jawapan bertulislah daripada segi itu.
Tuan Haji Ahmad bin Hassan - Papar
Papar minta peluang sekali lagi.
Tuan Yang di-Pertua
All right. Maaf, Yang Berhormat Bukit Bintang bangun dulu.
Soalan kedua? Ringkas ya.
Tuan Fong Kui Lun - Bukit Bintang
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Soalan tambahan. Saya ingin bertanya Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, sistem talian ke pejabat-pejabat kerajaan dan Putrajaya sangat sukar dan tidak memuaskan. Menerima jawapan kerap panggilan tidak dijawab dengan memuaskan. Saya ingin bertanya kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, siapa yang patut bertanggungjawab untuk meningkatkan perkhidmatan ini?
[Dewan tepuk]
Tuan Fong Kui Lun - Bukit Bintang
Minta penjelasan daripada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri.
Tuan Yang di-Pertua
Terima kasih.
Tuan Fong Kui Lun - Bukit Bintang
Minta penjelasan.
Seorang Ahli
[Bercakap tanpa menggunakan pembesar suara] Payah itu, payah.
Tuan Yang di-Pertua
Terima kasih.
Tuan Fong Kui Lun - Bukit Bintang
Siapa patut bertanggungjawab untuk meningkatkan perkhidmatan ini?
[Dewan tepuk]
Tuan Fong Kui Lun - Bukit Bintang
Ini satu- saya rasa ramai Ahli Parlimen pun ada panggilan kepada pejabat-pejabat kerajaan tetapi tidak menerima jawapan yang memuaskan. Terima kasih.
Tuan Haji Ahmad bin Hassan - Papar
Papar minta sekali lagi.
Tuan Yang di-Pertua
Terima kasih. Silakan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri.
Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob
Okey, terima kasih. Aduan tentang perkara ini iaitu sistem talian yang sukar untuk dicapai, panggilan tidak dijawab, saya akan ambil serius perkara ini. Saya akan memastikan perkara ini dapat diselesaikan bagi kepentingan rakyat...
Seorang Ahli
[Bercakap tanpa menggunakan pembesar suara] Potong gaji, potong gaji.
Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob
Terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua
Terima kasih.
Tuan Haji Ahmad bin Hassan - Papar
Papar, Papar. Untuk delivery system.
Tuan Yang di-Pertua
Seterusnya, saya ingin menjemput...
Datuk Wira Dr. Mohd. Hatta bin Md. Ramli - Lumut
Satu lagi ya?
Tuan Yang di-Pertua
Seterusnya, saya ingin menjemput Yang Berhormat Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim.
2. Dato' Seri Anwar bin Ibrahim [Port Dickson] minta Perdana Menteri menyatakan pendirian kerajaan berkenaan penurunan kedudukan Malaysia dalam penilaian Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2021 keluaran Transparency International ke tangga 62 daripada 180 buah negara. Adakah ini bermaksud pelaksanaan inisiatif dalam Pelan Antirasuah Nasional (NACP) sejak 2019 tidak berkesan.
Perdana Menteri - Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob
Terima kasih Yang Berhormat Ketua Pembangkang. Saya memohon agar pertanyaan ini dijawab bersekali dengan 14 pertanyaan lain yang diajukan oleh Ahli-ahli Dewan Rakyat berkaitan isu Indeks Persepsi Rasuah ini iaitu:
(i) pertanyaan nombor ke-24 oleh Yang Berhormat Ipoh Timur bertarikh 1 Mac 2022 berkenaan pendirian dan tindakan kerajaan berhubung CPI tahun 2021;
(ii) pertanyaan nombor ke-70 oleh Yang Berhormat Tenom, bertarikh 1 Mac 2022;
(iii) pertanyaan nombor ke-76 oleh Yang Berhormat Puchong bertarikh 1 Mac 2022;
(iv) pertanyaan nombor ke-83 oleh Yang Berhormat Iskandar Puteri bertarikh 1 Mac 2022;
(v) pertanyaan nombor ke-32 oleh Yang Berhormat Merbok bertarikh 7 Mac 2022;
(vi) pertanyaan nombor ke-85 oleh Yang Berhormat Bukit Gelugor bertarikh 7 Mac 2022;
(vii) pertanyaan nombor ke-20 oleh Yang Berhormat Tumpat bertarikh 10 Mac 2022;
Perdana Menteri - Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob
(viii) pertanyaan nombor ke-75 oleh Yang Berhormat Bukit Gelugor bertarikh 10 Mac 2022;
(ix) pertanyaan nombor ke-44 oleh Yang Berhormat Bukit Bendera bertarikh 16 Mac 2022;
(x) pertanyaan nombor ke-69 oleh Yang Berhormat Julau bertarikh 16 Mac 2022;
(xi) pertanyaan nombor ke-70 oleh Yang Berhormat Johor Bahru bertarikh 16 Mac 2022;
(xii) pertanyaan nombor keempat oleh Yang Berhormat Jerlun bertarikh 22 Mac 2022...
Tuan Ahmad Fahmi bin Mohamed Fadzil - Lembah Pantai
Masa hendak habis Yang Amat Berhormat Perdana Menteri...
Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob
(xiii) pertanyaan nombor ke-57 oleh Yang Berhormat Kota Raja bertarikh 22 Mac 2022; dan
(xiv) pertanyaan nombor ke-68 oleh Yang Berhormat Kuala Kedah.
Semuanya berkenaan isu yang sama. Jadi, saya kena sebut satu persatu...
Tuan Yang di-Pertua
Jadi, kita mula balik masa itu.
Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob
Ini sebab selepas ini mungkin tidak dijawab tentang perkara ini. Jadi, hari ini kita jawab rangkum semua sekali untuk jawapan. Tuan Yang di-Pertua serta Ahli Yang Berhormat Port Dickson, CPI merupakan barometer antarabangsa yang diterbitkan oleh Transparency International (TI), yang mengukur tahap persepsi rasuah dalam badan awam, termasuk pegawai dan anggota pentadbiran bagi negara-negara seluruh dunia.
Walau bagaimanapun, pengukuran CPI dilaksanakan berdasarkan persepsi melalui kajian oleh institusi-institusi antarabangsa. Indeks ini adalah untuk memberikan gambaran kepada kerajaan supaya usaha penambahbaikan tadbir urus, integriti dan antirasuah terus dilaksanakan merentasi pelbagai sektor awam, swasta, termasuk politik bagi memberi kesan kepada daya saing serta ekonomi negara.
CPI Malaysia untuk tahun 2021 dikira berdasarkan sembilan daripada 13 kajian yang dilaksanakan oleh pelbagai agensi antarabangsa. Laporan tersebut menunjukkan bahawa Malaysia menduduki tempat kedua terbaik selepas Singapura antara sembilan buah negara ASEAN yang terlibat. Antara perkara yang mempengaruhi skor dan kedudukan negara dalam CPI ialah soalan berbeza yang digunakan antara negara.
Responden ataupun kumpulan sasar serta jumlah penglibatan negara yang berbeza setiap tahun. Sebagai contoh, kajian CPI 2021 tidak melibatkan negara Brunei.
Kerajaan melalui Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC) telah mengadakan beberapa sesi libat urus dengan pihak-pihak berkepentingan agar Laporan CPI tersebut lebih adil dan dapat memberikan gambaran yang sebenar.
Kesediaan Malaysia untuk dinilai oleh CPI 2021 menunjukkan ketelusan dan komitmen Malaysia dalam penambahbaikan tadbir urus. Sehubungan dengan itu, kerajaan kekal komited untuk melaksanakan inisiatif yang telah digariskan di bawah Pelan Antirasuah Nasional (NACP). Walau bagaimanapun, kita harus ingat bahawa usaha- usaha penambahbaikan adalah bersifat jangka panjang dan hasilnya juga akan dapat dilihat dalam jangka masa akan datang. Terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua
Terima kasih Yang Berhormat. Soalan tambahan pertama.
Dato' Seri Anwar bin Ibrahim - Port Dickson
Terima kasih Yang Amat Berhormat Perdana Menteri kerana memberi penjelasan. Persepsi rasuah ini meningkat kerana tidak ada gambaran, tidak ada tekad politik menangani masalah-masalah besar.
Dato' Seri Anwar bin Ibrahim - Port Dickson
Umpamanya saya bangkitkan Pandora Papers. Keduanya, soal 1MDB yang belum terungkai. Baru-baru ini keluar lagi masalah. Jadi, kalau— dan orang-orang yang terlibat itu bergentayangan ke sana ke sini seolah-olah tidak ada permasalahan.
[Tepuk] Persepsi ini akan merosakkan imej negara kalau tidak ada kesediaan bagi pihak pimpinan politik.
Saya tahu SPRM mempunyai peranan besar dalam hal ini, tetapi tekad politik juga perlu. Kita tidak boleh katakan persepsi ini sebagai persepsi biasa kerana orang juga melihat faktanya bahawa ada keterangan-keterangan baharu yang menggemparkan yang melibatkan institusi penting negara termasuk Bank Negara Malaysia.
Kita nampak ada keengganan bertindak, sama ada mantan-mantan Perdana Menteri juga terlibat. Bukan satu, dua dan tiga yang dibangkitkan dalam laporan-laporan seperti Pandora Papers. Mengapa tidak ada sikap kesungguhan pimpinan, khususnya Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, untuk menyatakan bahawa SPRM harus bertindak tanpa ragu terhadap sesiapa sahaja? Itu soalan saya.
[Tepuk]
Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob
Terima kasih Yang Berhormat. Sebenarnya daripada segi kemerosotan skor kita, kedudukan kita bukan sahaja disebabkan oleh kes- kes rasuah, tetapi juga disumbangkan oleh perkara-perkara lain. Perkara-perkara lain seperti hak asasi misalnya, human rights yang mungkin pandangan dari badan-badan antarabangsa berbeza daripada nilai yang ada di negara kita, tetapi mereka melihat human rights berdasarkan nilai-nilai mereka.
Jadi yang kedua, daripada segi keperluan pembaharuan institusi dan juga akta- akta yang perlu dipinda. Sebagai contoh, akta ataupun Rang Undang-undang Pembiayaan Dana Politik misalnya. Ini juga merupakan salah satu tuntutan dari badan antarabangsa supaya kita mengamalkan di negara kita. Daripada segi Akta Rahsia Rasmi, Akta Kesalahan Pilihan Raya dan sebagainya, semua. Jadi, daripada segi keseluruhannya seperti saya sebut ada sembilan perkara yang dijadikan sebagai alasan untuk memberikan kita ranking, skor dan sebagainya.
Tentang— saya hendak menjawab soalan ya. Daripada segi tindakan yang dilaksanakan apabila berkaitan dengan isu rasuah dan sebagainya, saya percaya Yang Berhormat tahu banyak kes sedang berjalan di mahkamah melibatkan sesiapa sahaja tidak kira daripada pihak pembangkang mahupun daripada pihak kerajaan. Kita lihat hari ini kes masih sedang— banyak kes masih lagi berjalan di mahkamah. Itu menunjukkan bahawa kerajaan serius daripada segi mengambil tindakan terhadap sesiapa sahaja yang mengamalkan rasuah.
[Tepuk] Begitu juga dengan perkara-perkara lain yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat tadi. Jadi tidak ada pihak kerajaan tidak melindungi sesiapa. Dalam isu rasuah, pihak kerajaan tidak melindungi sesiapa.
[Tepuk] Sesiapa sahaja bertanggungjawab akan dihadapkan ke mahkamah dan mahkamahlah yang akan menentukan sama ada orang itu bersalah atau tidak.
Jadi, tidak boleh menganggap bahawa pihak kerajaan hari ini melindungi individu- individu tertentu dan mengambil tindakan terhadap orang-orang yang tertentu hanya untuk memuaskan hati sesetengah pihak. Kita tidak tahu dahulu sama ada dahulu ada selective prosecution atau tidak, tetapi hari ini tidak ada pendakwaan terpilih kepada sesiapa sahaja.
[Tepuk] Itu janji kerajaan. Terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua
Terima kasih...
Puan Rusnah binti Aluai - Tangga Batu
Tangga Batu.
Tuan Yang di-Pertua
Soalan tambahan kedua.
Tuan Ahmad Tarmizi bin Sulaiman - Sik
Sik mohon.
Tuan Yang di-Pertua
Sekejap. Ada soalan tambahan kedua sebelah sini?
Tuan Ahmad Tarmizi bin Sulaiman - Sik
Ada.
Tuan Yang di-Pertua
Siapa?
Tuan Ahmad Tarmizi bin Sulaiman - Sik
Sik.
Tuan Yang di-Pertua
Silakan Yang Berhormat Sik.
Tuan Ahmad Tarmizi bin Sulaiman - Sik
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, terima kasih Yang Amat Berhormat Perdana Menteri.
Dilihat dalam gejala rasuah ini, personaliti seseorang juga memainkan peranan termasuk gaya hidup rakyat kita ada yang suka bermewah-mewah, bermegah-megah dan hidup dalam keadaan yang elit. Jadi, adakah pihak kerajaan melihat aspek pendidikan juga penting bagi mendidik rakyat dengan gaya hidup yang lebih sederhana, mementingkan halal dan haram dan sebagainya? Terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua
Terima kasih. Yang Amat Berhormat, silakan.
Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob
Ya, daripada segi untuk educate rakyat ataupun memberi pendidikan kepada rakyat mengenai cara hidup itu, saya percaya sentiasa dilakukan. Malah daripada pihak kerajaan sendiri, apabila kita mengarahkan pengisytiharan harta oleh Ahli-ahli Parlimen, oleh anggota pentadbiran dan sebagainya, tujuannya ialah supaya dapat kita ketahui tentang apa yang dimiliki oleh seseorang individu dan mereka tidak bolehlah— mereka tidak akan menunjuk-nunjuk apa yang mereka ada kerana apa yang mereka ada telah pun diserahkan secara detil kepada pihak- pihak tertentu untuk menentukan. Jadi...
Tuan Ahmad Fahmi bin Mohamed Fadzil - Lembah Pantai
[Bercakap tanpa menggunakan pembesar suara]
Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob
Jadi daripada segi isu yang berkaitan dengan education tadi, pendidikan tadi, ia sentiasa dilakukan oleh pihak SPRM dan sebagainya.
Tuan Yang di-Pertua
Terima kasih. Soalan tambahan terakhir.
Puan Rusnah binti Aluai - Tangga Batu
Tangga Batu.
Tuan Yang di-Pertua
Silakan Yang Berhormat Tangga Batu.
Puan Rusnah binti Aluai - Tangga Batu
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Adakah kajian dibuat untuk mengenal pasti jabatan, sektor atau kementerian manakah yang paling bersih ataupun yang paling teruk terlibat dengan rasuah supaya tindakan pembasmian rasuah lebih berfokus, lebih serius dan bersasar? Terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua
Terima kasih. Silakan Yang Berhormat.
Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob
Memang dilakukan, kementerian dan jabatan sekali ya, memang sentiasa dilakukan. Terima kasih.
3. Dato' Haji Mohd Fasiah bin Mohd Fakeh [Sabak Bernam] minta Menteri Kanan Kerja Raya menyatakan setakat manakah pelaksanaan kemudahan pembayaran tol menggunakan teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) di semua tol tertutup di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT 2) dan nyatakan setakat manakah RFID ini mampu mengatasi masalah kesesakan di plaza tol serta nyatakan sama ada Touch ‘n Go dan Smart Tag akan terus digunakan di lebuh raya PLUS dan LPT 2.
Menteri Kanan Kerja Raya - Dato’ Sri Haji Fadillah bin Yusof
Bismillahi Rahmani Rahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Tuan Yang di-Pertua
Waalaikumussalam.
Dato’ Sri Haji Fadillah bin Yusof
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Terima kasih Yang Berhormat Sabak Bernam atas soalan.
Saya terlebih dahulu mohon izin untuk menjawab soalan ini bersekali dengan soalan-soalan yang berikut kerana ia menyentuh isu yang sama iaitu berkenaan dengan sistem kutipan tol menggunakan teknologi Radio Frequency Identification (RFID) iaitu daripada Yang Berhormat Jelutong pada 1 Mac 2022, Yang Berhormat Temerloh 10 Mac 2022, Yang Berhormat Hulu Selangor 10 Mac 2022, Yang Berhormat Tangga Batu 16 Mac 2022, Yang Berhormat Rasah 16 Mac 2022, Yang Berhormat Bukit Bendera 16 Mac
Dato’ Sri Haji Fadillah bin Yusof
2022, Yang Berhormat Puchong 22 Mac 2022 dan Yang Berhormat Port Dickson 22 Mac 2022. Mohon izin Tuan Yang di-Pertua.
Tuan Yang di-Pertua
Silakan.
Dato’ Sri Haji Fadillah bin Yusof
Untuk makluman Ahli-ahli Yang Berhormat, pelaksanaan sistem kutipan tol lebuh raya di negara ini...
Tuan Yang di-Pertua
Kita mulakan balik masa itu tiga minit.
Dato’ Sri Haji Fadillah bin Yusof
...dibahagikan kepada dua kategori iaitu sistem tol terbuka, di mana bayaran dibuat setiap kali kenderaan melalui plaza tol dan sistem tol tertutup iaitu bayaran tol dibuat di plaza tol keluar dengan kadar tol mengikut jarak perjalanan yang dilalui dari plaza tol masuk.
Kaedah pembayaran tol bermula dengan kaedah kutipan secara tunai pada tahun 1980an. Evolusi kutipan tol secara elektronik bermula pada pertengahan 1990an di mana terdapat beberapa buah syarikat konsesi telah mula memperkenalkan peranti tol elektronik masing-masing yang boleh diguna pakai di lebuh raya tertentu sahaja. Ini menyebabkan pengguna perlu mempunyai lebih daripada satu peranti untuk digunakan.
Seterusnya kerajaan pada tahun 2004 telah memutuskan supaya hanya satu electronic toll system (ETC) sahaja digunakan bagi tujuan pembayaran tol iaitu peranti SmartTAG dan Touch ‘n Go. Susulan pelaksanaan ETC tersebut, penggunaan teknologi Radio Frequency Identification (RFID) yang dikenali dengan nama komersil MyRFID telah diperkenalkan bermula tahun 2017 secara berperingkat di samping penggunaan teknologi sedia ada iaitu teknologi infrared ataupun bagi peranti SmartTAG dan kad Touch ‘n Go.
Dato’ Sri Haji Fadillah bin Yusof
Penggunaan teknologi RFID ini dihubungkan kepada akaun dompet elektronik (e- wallet) sebagai medium bagi membolehkan pengguna membuat bayaran tol dengan kemudahan tambah nilai secara atas talian. Pelaksanaan teknologi RFID adalah selaras dengan hasrat kementerian untuk memperkenalkan sistem kutipan tol tanpa henti yang dikenali sebagai multi-lane free flow (MLFF) menggunakan pendekatan teknologi Radio Frequency Identification dan dijangka akan dilaksanakan sepenuhnya menjelang tahun 2025.
Dalam usaha pihak kementerian menerajui inisiatif dalam memperkenalkan sistem kutipan tol di lebuh raya secara elektronik sepenuhnya, pelbagai kajian, sesi libat urus dan dialog telah diadakan bersama pemegang taruh bagi mendapatkan maklum balas serta mencadangkan penyelesaian terbaik berhubung kaedah atau teknologi yang akan diguna pakai. Pihak kementerian juga turut meneliti kaedah sistem tol tanpa palang seperti sistem Electronic Road Pricing (ERP) yang diguna pakai di Singapura. Namun, atas kekangan kos dan pelaksanaan model perniagaan yang akan membebankan rakyat menyebabkan sistem ini tidak dilaksanakan di Malaysia.
Justeru pemilihan teknologi RFID berbanding teknologi infra yang digunakan bagi peranti SmartTAG merupakan pilihan yang sesuai kerana ia menggunakan gelombang radio yang mempunyai had pengesanan yang lebih luas di samping kos yang lebih rendah jika dibandingkan dengan SmartTAG yang menggunakan teknologi infra. Teknologi ini masih belum terbukti keberkesanannya dalam pelaksanaan MLFF berbanding teknologi RFID yang telah diguna pakai secara meluas oleh kebanyakan negara-negara maju yang telah melaksanakan sistem tol secara MLFF.
[Timbalan Yang di-Pertua (Dato' Mohd Rashid Hasnon) **mempengerusikan Mesyuarat****] Merujuk kepada harga jualan semasa bagi tag RFID adalah bernilai RM35 di mana ia merangkumi kos tag RFID, pemasangan tag, sistem dan pengoperasian. Walau bagaimanapun, pihak kerajaan telah meminta supaya pihak TNG Sdn. Bhd. untuk mengkaji semula kos-kos berkenaan bagi tujuan mengurangkan harga jualan tag tersebut.
Dato’ Sri Haji Fadillah bin Yusof
Pihak TNG merupakan penyedia perkhidmatan bagi sistem kutipan tol di semua lebuh raya di Malaysia di mana urusan pelantikan kontraktor, pembekal tag RFID diuruskan sepenuhnya oleh pihak Touch ‘n Go. Secara keseluruhannya, inisiatif pelaksanaan RFID bukanlah suatu perancangan yang drastik, namun telah dilaksanakan melalui projek rintis. RFID melibatkan plaza tol sistem terbuka di Lembah Klang sejak tahun 2017. Manakala pelaksanaan projek rintis RFID bagi lebuh raya PLUS pula pada peringkat awal bermula pada 1 Januari 2020, hanya melibatkan 10 buah plaza tol sistem terbuka merangkumi plaza tol antaranya di Jambatan Pulau Pinang Link Kedua, Butterworth dan Kulim Expressway.
Seterusnya, ujian rintis awal RFID bagi kenderaan kelas satu telah dilaksanakan melibatkan sembilan buah plaza tol sistem tertutup yang disiapkan pada Oktober 2021.
Lanjutan daripada projek rintis yang dilaksanakan oleh pihak PLUS tersebut, pelaksanaan RFID telah dilancarkan pada 15 Januari 2022. Kementerian Kerja Raya mengambil maklum akan reaksi negatif pengguna lebuh raya berikutan pelaksanaan RFID di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) tersebut.
PLUS Malaysia Berhad selaku syarikat konsesi yang bertanggungjawab ke atas lebuh raya terpanjang di Malaysia dengan 83 buah plaza tol dari Hutan Kampung sehingga ke Skudai amat peka dan prihatin terhadap isu-isu operasi yang dibangkitkan oleh pengguna. Sehubungan itu, bagi tujuan penambahbaikan dan memastikan keselesaan pengguna khususnya untuk kutipan tol bagi sistem tol tertutup, pihak PLUS telah melaksanakan beberapa tindakan bersifat jangka pendek seperti berikut:
(i) untuk menempatkan petugas tol di plaza tol bagi membantu pengguna lebuh raya menghadapi masalah pengesanan di lorong RFID;
(ii) mengekalkan lorong Touch ‘n Go dan SmartTAG sedia ada sebagai pilihan kepada pengguna sehingga pengguna bersedia untuk beralih kepada sistem RFID; dan
(iii) mengadakan program kesedaran secara berterusan bagi memastikan isu-isu yang dihadapi oleh pengguna dapat diselesaikan dan kecekapan sistem pengurusan tol dapat dipertingkatkan.
Langkah ini diambil sebagai persediaan peralihan pada sistem kutipan tol kepada MLFF bagi memastikan sistem lebih efektif dan berkesan. Sehingga kini, kutipan tol secara RFID telah dilaksanakan di 28 buah lebuh raya dan baki dua buah lebuh raya iaitu Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 dijangka akan dilaksanakan mulai penghujung bulan Jun 2022. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato' Mohd Rashid Hasnon
Terima kasih. Soalan tambahan pertama, sila Yang Berhormat Sabak Bernam.
Dato' Haji Mohd Fasiah bin Mohd Fakeh - Sabak Bernam
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua dan terima kasih kepada Yang Berhormat Menteri yang telah memberikan jawapan yang jelas dan kita baru jelas dan faham apakah yang dimaksudkan dengan RFID dan juga sistem tol yang lain.
Tuan Yang di-Pertua, pada hemah saya bahawa 1.7 juta orang pelanggan RFID dan juga penggunaan hampir empat juta setiap hari penggunaan PLUS. Soalan tambahan saya, setakat manakah kajian yang dibuat oleh KKR atau PLUS daripada segi keberkesanan pengguna daripada sistem Touch ‘n Go, sistem SmartTAG dan bayaran tunai dibandingkan dengan RFID yang memastikan bahawa kesesakan di seluruh negara dapat diatasi? Apakah kerajaan bercadang untuk menghapuskan tol pada masa akan datang seperti yang digembar-gemburkan oleh sesetengah pihak pada tempoh hari yang lepas? Sekian, terima kasih.
Dato' Sri Haji Fadillah bin Yusof
Terima kasih Yang Berhormat Sabak Bernam.
Pertama sekali kalau kita melihat sistem yang kita ada menggunakan Touch ‘n Go, maknanya kita kena berhenti meletakkan kad kita pada bacaan, barulah palang itu akan terbuka. Secara keseluruhannya, dalam setiap satu jam hanya dapat memproses
Dato' Sri Haji Fadillah bin Yusof
menggunakan Touch ‘n Go sebanyak 450 buah kenderaan. Kalau menggunakan sistem SmartTAG dan RFID, ia dapat memproses dalam satu jam lebih kurang 1,000 buah kenderaan. Ini bermakna mengurangkan kesesakan lalu lintas.
Akan tetapi jangka panjang, apa yang kita hendak laksanakan ialah tiada lagi sistem menggunakan toll gate, maknanya kita akan pintas lalu, maknanya akhirnya akan dapat mengurangkan kesesakan di toll gate itu. Itu yang kita sasarkan. Mengikut kajian, sekarang ini yang beralih kepada RFID sudah meningkat kepada 18 peratus penggunaannya.
Adakah kita akan menghapuskan tol? Setakat ini berdasarkan kajian, memang tiada kemampuan kerajaan untuk menghapuskan tol disebabkan pampasan yang begitu besar sekali. Oleh sebab itu malahan di bawah Pakatan Harapan dulu, walaupun itu janji mereka tetapi penghapusan tol itu tidak dapat dilaksanakan dan mereka sedar bahawa dari segi realitinya, kos yang ditanggung oleh kerajaan untuk membayar pampasan itu amat besar sekali.
Jadi sebab itu kita sekarang ini sedang hanya melakukan perundingan untuk melihat bagaimana kita tidak akan membebankan pengguna tetapi pada masa yang sama tidak juga membebankan kerajaan dari segi kedudukan kewangan kita iaitu menang- menang untuk semua pihak. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato' Mohd Rashid Hasnon
Terima kasih. Soalan tambahan yang kedua saya jemput yang lebih awal notis tadi, Yang Berhormat Kuala Selangor, sila.
Datuk Seri Dr. Haji Dzulkefly bin Ahmad - Kuala Selangor
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua dan terima kasih Yang Berhormat Menteri yang menjawab. Saya sangat memahami kehendak kementerian yang pada akhirnya adalah untuk melahirkan ke arah satu evolusi an intelligent transport system yang sangat canggih, ultra-efficient, multi-lane free flow dengan tidak ada gangguan palang dan sebagainya.
Namun, persoalannya yang mudah hari ini, now and here. Persoalannya ialah kegagalan. Tag yang dipasang tidak dapat dikesan dan dibaca ketika melalui RFID plaza tol ini dan menyebabkan kesesakan. Very simple, we are going to, kita mengarah kepada satu yang sangat efisien, sangat canggih, that is Radio Frequency Identification System ini. Saya memerhatikan expert dalam robotic technology dan juga the Malaysian Automotive Robotic dan IoT Institute pun mencadangkan semua ini.
Namun persoalannya adalah sekarang ini, perkara yang mudah yang dipasang itu pun tidak dapat dikesan dan terpaksa motor reset ataupun pengguna terpaksa berundur ke depan, berundur menyebabkan risiko kemalangan dan kesesakan. This is the immediate thing yang ke arah satu yang lebih canggih dan lebih efisien, ultra efisien itu semua kita sokong.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato' Mohd Rashid Hasnon
Soalannya Yang Berhormat Kuala Selangor, soalannya.
Datuk Seri Dr. Haji Dzulkefly bin Ahmad - Kuala Selangor
Apakah penyelesaian immediate sekarang ini yang mahu pengguna RFID khususnya lanes itu diatasi segera? Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato' Mohd Rashid Hasnon
Terima kasih Yang Berhormat Kuala Selangor. Yang Berhormat Menteri Kanan Kerja Raya.
Dato’ Sri Haji Fadillah bin Yusof
Tuan Yang di-Pertua, terima kasih.
Sebenarnya saya sudah memberi jawapan tadi. Untuk langkah sementara yang dilaksanakan, PLUS telah meletakkan pegawai supaya memastikan kalau siapa-siapa sahaja menghadapi masalah bila melalui akan diselesaikan pada waktu itu juga. Setiap pegawai memang ditugaskan di sana.
Kedua, iaitu untuk memastikan– sebab ini dikatakan projek rintis di mana peletakan reader itu dan juga tag itu sendiri menjadi cabaran sebab pelbagai jenis kenderaan dan sebagainya. Ini juga sudah dikenal pasti dan langkah penambahbaikan
Dato’ Sri Haji Fadillah bin Yusof
sedang diteruskan oleh pihak PLUS dan Touch ‘n Go itu sendiri. Oleh sebab itulah saya katakan tadi ini apabila projek rintis sudah pasti kita dapat mengenal pasti banyak isu yang telah dibangkitkan dan isu ini sebenarnya sudah dapat dikurangkan.
Oleh sebab itu perjalanan semakin lancar sekarang ini dan peningkatan dari segi penggunaan RFID daripada dahulu 11 peratus sekarang ini 18 peratus, menunjukkan keyakinan pada sistem ini. Walaupun dengan kelemahan, kelemahan ini akan diperbaiki oleh pihak PLUS dan juga Touch ‘n Go. Kita pada masa ini juga mengenal pasti teknologi- teknologi lain yang mungkin akan akhirnya memberi kemudahan pada keseluruhan pengguna kita. Itu matlamat kita. Terima kasih Timbalan Yang di-Pertua.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato' Mohd Rashid Hasnon
Terima kasih Menteri Kanan. Masa telah agak panjang juga dalam perbahasan tajuk ini. Saya ingin seterusnya menjemput Yang Berhormat Tuan Charles Anthony Santiago, Klang.
4. Tuan Charles Anthony Santiago [Klang] minta Menteri Alam Sekitar dan Air menyatakan rancangan jangka pendek dan panjang dalam membaik pulih sistem saliran di Klang bagi mengatasi fenomena banjir. Adakah kementerian bercadang untuk menambah baik sistem saliran berikutan kajian Climate Central menyatakan sebahagian kawasan Klang akan tenggelam dalam tahun 2050.
Menteri Alam Sekitar dan Air - Dato’ Sri Tuan Ibrahim bin Tuan Man
Terima kasih Timbalan Yang di-Pertua. Terima kasih kepada Yang Berhormat Klang membangkitkan soalan ini. KASA melalui Jabatan Pengairan dan Saliran telah pun menyediakan perancangan jangka pendek dan jangka panjang bagi membaik pulih sistem saliran di Klang bagi mengatasi fenomena banjir.
Sehubungan itu, JPS negeri Selangor telah pun menerima peruntukan sejumlah RM98.05 juta bagi tahun 2022. Manakala permohonan bagi RP3 dirancang dipohon sebanyak RM2.06 bilion melibatkan lima buah projek bagi negeri Selangor. Di antara perancangan jangka pendek projek pemuliharaan sungai untuk mengurangkan risiko banjir telah pun diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan di bawah RP Rancangan Malaysia Ke-12. Skop kerja yang melibatkan kerja-kerja pengaluran sungai, kerja-kerja penstabilan tebing sungai, naik taraf aset tak alih dan naik taraf saluran dan struktur berkaitan bagi meningkatkan kualiti air sungai.
Pada tahun 2022 Rolling Plan Kedua, RMKe-12 sebanyak 50 buah kerja telah dirancang untuk dilaksanakan dengan kos keseluruhan RM10 juta di mana 13 kerja dan pelaksanaan baki 37 projek dalam peringkat perolehan. Daripada projek ini sebanyak tiga kerja akan dilaksanakan di daerah Klang berjumlah RM1.5 juta. Selain daripada itu Kerajaan Negeri Selangor juga memperuntukkan kepada JPS Negeri Selangor sebanyak RM13.43 juta untuk kerja-kerja di daerah Klang yang melibatkan:
(i) peruntukan pembangunan pasca banjir RM930,000;
(ii) peruntukan mengurus penyelenggaraan RM8.5 juta; dan
(iii) akaun amanah caruman parit kerja-kerja kritikal dan segera sebanyak RM4 juta.
Sebagai langkah untuk memulihkan kerosakan infrastruktur JPS, KASA telah memohon peruntukan tambahan sebanyak RM80 juta bagi Pelan Pemulihan Pasca Banjir dan kerja-kerja melibatkan beberapa tempat termasuk kawasan Klang.
Untuk makluman Dewan yang mulia, perancangan jangka masa panjang JPS sedang melaksanakan satu buah projek iaitu Projek Penstabilan Tebing Sungai Aur daerah Klang, Selangor dengan kos keseluruhan sebanyak RM10.32 juta. Projek ini telah pun bermula pada 9 September 2021 dan dijangka siap pada 9 Mac 2023. JPS juga telah melaksanakan Rancangan Tebatan Banjir Sungai Kapar Kecil dan Sungai Kapar Besar Daerah Klang dan Petaling, Selangor dengan peruntukan sebanyak RM188 juta dan projek ini dalam RP3. Terima kasih.
Tuan Charles Anthony Santiago - Klang
Terima kasih Timbalan Yang di- Pertua, terima kasih Yang Berhormat Menteri jawapan itu. Soalan tambahan saya ialah
Tuan Charles Anthony Santiago - Klang
Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM) Selangor mengatakan bahawa 150 buah kawasan di sembilan buah daerah di Selangor berisiko mengalami banjir dan banjir kilat sehingga Mac, April sampai Ogos saya percaya.
Pada pagi ini, satu lagi rumusan telah keluar daripada JMM mengatakan bahawa isu monsun ini akan dipanjangkan sampai Ogos tahun ini. Soalan saya ialah adakah KASA akan meluluskan satu dana khas ini untuk kerja-kerja segera bagi meningkatkan kapasiti sistem saliran di Klang serta membersihkan longkang-longkang monsun dan kolam tadahan air.
Saya diberitahu Yang Berhormat Menteri juga bahawa di Klang, satu permasalahan besar ialah longkang-longkang yang kotor yang tidak dibersihkan. Ini juga termasuk bukan sahaja JPS akan tetapi juga JKR. Saya telah minta kepada JKR lebih kurang RM6 juta untuk membersihkan semua longkang yang sekarang ini kotor sangat.
Minta pandangan Menteri.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato' Mohd Rashid Hasnon
Terima kasih Yang Berhormat Klang. Silakan Menteri menjawab.
Dato’ Sri Tuan Ibrahim bin Tuan Man
Terima kasih Yang Berhormat Klang atas perkara yang dibangkitkan. Sebagai mana yang telah saya menyatakan tadi sebenarnya permohonan kita di peringkat Kerajaan Persekutuan untuk Kerajaan Negeri Selangor ini satu jumlah yang sangat besar jumlahnya. Jumlah keseluruhannya ialah sebanyak RM2.06 bilion dan ia melibatkan termasuklah sistem perparitan dan sebagainya.
Cuma saya ingin bangkitkan apa yang dibangkitkan adalah soal longkang yang tidak bersih. Pengurusan longkang ini ialah sebahagian besar di bawah kerajaan tempatan, di bawah PBT. JPS mengendalikan sungai-sungai utama dan sungai-sungai yang asalnya sebagai sungai, manakala longkang-longkang dan sistem perparitan melalui pihak PBT.
Kita sentiasa bekerjasama dengan pihak PBT supaya peruntukan disediakan di peringkat negeri sebagai mana yang telah disebutkan baru-baru ini Kerajaan Negeri Selangor juga telah pun memperuntukkan untuk Daerah Klang satu jumlah yang agak besar bagi menyelesaikan masalah-masalah dibangkitkan oleh Yang Berhormat sebanyak RM13.43 juta. Itu kerja-kerja di Daerah Klang sahaja. Saya fikir ini di antara apa yang dibangkitkan kita harapkan dapat diselesaikan. Insya-Allah. Terima kasih.
Tuan Ahmad Fadhli bin Shaari - Pasir Mas
Terima kasih Timbalan Yang di- Pertua. Terima kasih Yang Berhormat Menteri sewaktu saya bangun bertanya soalan ini, rakyat saya di Pasir Mas dan juga Rantau Panjang yang sedang tenggelam dalam saya fikir satu akuarium rakyat yang mana banjir berlaku begitu besar bermula dua hari, tiga hari lepas akibat daripada antara lain ialah pembinaan tebatan banjir yang masih belum lagi siap.
Untuk makluman Yang Berhormat Menteri, sebahagian daripada tebatan banjir ini telah pun pecah bentengnya yang menyebabkan tempat yang tidak pernah tenggelam banjir sedang pun tenggelam mengakibatkan kerugian dan kehancuran harta benda berjuta ringgit Malaysia.
Soalan saya, apakah plan bertindak kementerian jangka pendek dan jangka panjang dalam masa segera untuk kebajikan rakyat khususnya dalam isu pembinaan benteng banjir ini yang kalau didrag atau pun kalau masih lagi tertunda penyiapannya akan memberikan risiko yang besar kepada rakyat di Parlimen Pasir Mas dan Rantau Panjang. Terima kasih.
Dato’ Sri Tuan Ibrahim bin Tuan Man
Terima kasih Yang Berhormat Pasir Mas.
Saya insya-Allah selepas Dewan ini saya akan terus ke kawasan Pasir Mas dan Rantau Panjang untuk melihat sendiri tentang kesan banjir. Cuma saya hendak maklumkan bahawa apa yang berlaku ialah kita sedang membangunkan tiga fasa pembangunan bagi menyelesaikan masalah yang berlarutan di kawasan Rantau Panjang, Pasir Mas dan Tumpat.
Dato’ Sri Tuan Ibrahim bin Tuan Man
Untuk makluman Dewan yang mulia, pada bulan Disember baru-baru ini Rantau Panjang, Pasir Mas dan Tumpat tidak ada banjir, termasuk Tanah Merah. Tidak banjir baru-baru ini. Ia baru banjir baru sekarang. Ini bererti dia delay sedikit banjirnya.
Ada tiga buah projek besar kita bagi mengatasi masalah banjir di Rantau Panjang, Pasir Mas, Tumpat dan sebagainya. Pertama ialah Projek KESBAN Fasa 1 yang dalam proses pembinaan dijangka siap pada tahun hadapan. Kedua kita sedang membangunkan flood wall di kawasan bandar Rantau Panjang yang menelan kos lebih kurang lebih daripada RM400 juta.
Fasa 2 ialah pembangunan di tebatan banjir Sungai Golok Fasa 2 yang melibatkan kos RM1.5 bilion yang akan dilaksanakan dalam RP3. Jadi saya harapkan dengan tiga buah perancangan ini, isu banjir di Rantau Panjang, Pasir Mas, Tumpat dan sebagainya dapat kita atasi, insya-Allah. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato' Mohd Rashid Hasnon
Saya beri peluang yang ketiga, sila Yang Berhormat Permatang Pauh.
Puan Nurul Izzah binti Anwar - Permatang Pauh
Terima kasih Timbalan Yang di-Pertua, terima kasih atas soalan dan jawapan oleh Menteri. Yang Berhormat Menteri, saya ingin menanyakan tahun lepas pada September 2021 telah diumumkan Akta Perubahan Iklim yang bakal dibawa dalam tahun 2022. Kita memahami kadangkala wujudnya pertikaian antara rizab hydraulic, aset hydraulic, di bawah milikan kerajaan negeri dengan Kerajaan Pusat.
Bagaimanakah akta ini bakal mengambil kira pertikaian sebegini lebih-lebih lagi bila berkait dengan projek tebatan ataupun mana-mana teknologi terkini menyimpan simpanan air banjir bawah tanah, contohnya. Bagaimanakah akta ini dapat mengawal selia dan memperbaiki hubungan supaya semua rizab aset hydraulic mampu diselenggara oleh kerajaan negeri dengan harmoni walau mana pun parti politik yang memerintah.
Terima kasih Yang Berhormat.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Mohd Rashid Hasnon
Terima kasih, Yang Berhormat Permatang Pauh. Sila, Yang Berhormat Menteri.
Dato’ Sri Tuan Ibrahim bin Tuan Man
Terima kasih, Yang Berhormat Permatang Pauh. Sebenarnya kita mempunyai satu kajian yang komprehensif dari segi membangunkan aset yang sedia ada supaya sebarang perancangan pembangunan mesti diambil kira. Dalam Akta Perubahan Iklim yang kita sedang bangunkan, kita mewajibkan semua pelan pembangunan di peringkat negeri dan kerajaan tempatan mesti mengikuti perancangan yang telah disediakan oleh pihak Program Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRAB).
Jadi oleh kerana itu, buat masa ini ia tidak diwajibkan dalam peraturan yang ada dan kita dengan keadaan realiti perubahan iklim yang berlaku, kita akan pastikan semua pelan pembangunan mesti mengambil kira perancangan tersebut supaya kita boleh menjaga aset sebagaimana yang dibangkitkan tadi termasuk juga mengelak kesan-kesan yang berganda akibat daripada banjir pada masa hadapan. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Mohd Rashid Hasnon
Terima kasih Yang Berhormat Menteri. Pertanyaan jawab lisan seterusnya, saya ingin menjemput Yang Berhormat Datuk Robert Lawson Chuat (Betong).
5. Datuk Robert Lawson Chuat [Betong] minta Menteri Kanan Kerja Raya menyatakan bagaimana Pelan Pembangunan Rangkaian Jalan Raya atau Highway Network Development Plan 2030 (HNDP 2030) dapat meningkatkan kesalinghubungan
(connectivity) rangkaian jalan raya secara holistik bagi menyokong pembangunan sosioekonomi negara.
Menteri Kanan Kerja Raya - Dato’ Sri Haji Fadillah bin Yusof
Terima kasih, Tuan Yang di-Pertua. Terima kasih, Yang Berhormat Betong. Untuk maklumat Ahli Yang Berhormat, Pelan Pembangunan Rangkaian Jalan Raya 2030 ataupun Highway Network Development Plan 2030 (HNDP 2030) yang diterbitkan oleh kementerian ini merupakan pelan yang dibangunkan untuk mengenal pasti keperluan infrastruktur jalan raya pada masa hadapan untuk Semenanjung Malaysia bagi melengkapkan sistem jaringan perhubungan yang lebih baik.
Bagi Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan, Pelan Pembangunan Rangkaian Jalan Raya yang dirujuk adalah HNDP Fasa II. HNDP telah dibangunkan dengan mengambil kira perancangan pembangunan di peringkat Persekutuan, negeri dan Koridor Pembangunan Wilayah di samping penilaian teknikal seperti analisis trafik bagi mengenal pasti unjuran trafik masa hadapan, aspek guna tanah, sosioekonomi, alam sekitar dan penilaian ekonomi.
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat juga, kementerian kini dalam proses untuk melaksanakan kajian semula HNDP bagi Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan yang akan dikenal sebagai HNDP 2040 bagi menggantikan HNDP Fasa II yang berakhir pada tahun 2025. Kajian ini dijangka akan dimulakan pada pertengahan tahun ini. Kajian ini kelak akan mengenal pasti perancangan rangkaian infrastruktur jalan raya bagi ketiga-tiga wilayah tersebut dengan mengambil kira input daripada semua pihak yang berkepentingan terutamanya Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Mohd Rashid Hasnon
Soalan tambahan yang pertama, sila Yang Berhormat Betong.
Datuk Robert Lawson Chuat - Betong
Terima kasih Yang Berhormat Menteri.
Soalan tambahan saya, kenapa terdapat pelaksanaan projek yang tidak mengikut tempoh masa yang dinyatakan dalam HNDP 2030 dan adakah di dalam HNDP Fasa II (2040) bagi Sarawak, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan terdapat cadangan projek infrastruktur jalan di kawasan saya, ialah kawasan Parlimen Betong. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Mohd Rashid Hasnon
Terima kasih, Yang Berhormat Betong. Sila, Yang Berhormat Menteri.
Dato’ Sri Haji Fadillah bin Yusof
Terima kasih, Yang Berhormat Betong. Untuk makluman Yang Berhormat, ada projek yang telah termaktub dalam HNDP tetapi tidak dapat dilaksanakan. Ada beberapa sebab. Dalam proses kita melaksanakan, ada yang terancang dalam HNDP, ada juga projek-projek akan dibawa oleh kerajaan negeri disebabkan perubahan dari segi keutamaan projek-projek tersebut sama ada oleh agensi Persekutuan, oleh pembangunan Koridor ataupun oleh kerajaan negeri itu sendiri.
Disebabkan perubahan perancangan di peringkat negeri ataupun di peringkat Persekutuan mahupun di peringkat Koridor itu, maka perubahan skop ini akan berlaku.
Maka keutamaan diberikan pada projek yang diberi keutamaan pada waktu-waktu tersebut.
Kedua, disebabkan juga – tidak dapat dilaksanakan kerana peruntukan kewangan yang terhad. Maka ia tidak dapat dilaksanakan mengikut jadual yang kita rancangkan dalam HNDP tersebut. Itu makluman awal yang saya boleh kongsikan dengan Yang Berhormat Betong. Manakala kawasan Betong sendiri ada projek yang telah disenaraikan.
Salah satunya ialah apa yang sedang dilaksanakan sekarang ini iaitu menaik taraf jalan Sri Aman ke Sibu di bawah Lebuh Raya Pan Borneo. Ada dua lagi iaitu jalan Sri Aman ke Betong dan jalan Betong ke Song. Ini pun masih dalam perancangan HNDP dan kita akan kemukakan lagi untuk penilaian oleh agensi pusat. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Mohd Rashid Hasnon
Terima kasih Yang Berhormat Menteri. Soalan tambahan yang kedua, saya jemput Yang Berhormat Sandakan.
Puan Vivian Wong Shir Yee - Sandakan
Terima kasih, Tuan Yang di-Pertua.
Kepada Yang Berhormat Menteri, ini adalah mengenai jalan-jalan raya di Sabah terutamanya jalan raya dari Sandakan ke Kota Kinabalu melalui Telupid dan Ranau. Saya ingin bertanya Yang Berhormat Menteri, pernahkah anda turun padang ke Sabah untuk
Puan Vivian Wong Shir Yee - Sandakan
menggunakan jalan-jalan raya tersebut? Selalu mengenai projek-projek besar jalan raya tetapi jalan raya yang sangat teruk sekali adalah dari Sandakan ke Kota Kinabalu. Lubang potholes, mereka sudah pernah edit gambar juga macam boleh buat main golf sudah.
Jadi saya ingin bertanya Yang Berhormat Menteri, adakah ada rancangan yang kukuh untuk memperbaiki seluruh jalan raya dari Sandakan ke Kota Kinabalu? Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Mohd Rashid Hasnon
Terima kasih Yang Berhormat Sandakan. Sila Yang Berhormat Menteri, satu minit.
Dato’ Sri Haji Fadillah bin Yusof
Ini lebih kepada penyelenggaraan jalan. Jalan yang sedia ada; adakah jalan itu akan dinaiktarafkan dan sebagainya. Saya mengambil maklum malahan saya sendiri selalu juga, pernahlah melalui jalan-jalan darat di Sabah.
Untuk penyelenggaraan, memang ada peruntukan dan kita akan melihat kepada penambahbaikan jalan-jalan tersebut.
Sebahagian jalan Sandakan-Telupid juga akan dinaikkan melalui Pan Borneo Sabah yang sedang rancak kita bincang dan diharapkan the remaining packages, dengan izin, Pan Borneo Sabah itu akan dapat diberi peruntukan dan kita akan laksanakan dan ia akan ditambah baik, sudah pasti. Perancangan ini semua termaktub dalam perancangan Kementerian Kerja Raya. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Mohd Rashid Hasnon
Terima kasih, Yang Berhormat Menteri. Soalan Jawab Lisan seterusnya, saya ingin menjemput Yang Berhormat Datuk Haji Hasanuddin bin Mohd Yunus (Hulu Langat).
Datuk Haji Hasanuddin bin Mohd Yunus - Hulu Langat
Tuan Yang di-Pertua, hari ini 1 Mac juga merupakan Hari Pertahanan Awam Sedunia Ke-91 dan kalau disambut di peringkat kebangsaan, ia hari yang Ke-70. Saya mengucapkan tahniah kepada seluruh warga kerja Angkatan Pertahanan Awam (APM) sama ada yang tetap, berpencen mahupun sukarelawan yang terdiri daripada SisPAA, pegawai bersekutu serta kehormat.
Jasa dan pengorbanan anda semua sangat berharga dalam membantu rakyat Malaysia yang berhadapan dengan bencana serta kesusahan.
6. Datuk Haji Hasanuddin bin Mohd Yunus [Hulu Langat] minta Menteri Kanan Pertahanan menyatakan peranan Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) dan Kor Kesihatan sekiranya bencana berskala besar berlaku terutamanya di kawasan berhampiran dengan empangan, serta adakah peralatan dan kelengkapan Tentera Darat mencukupi.
Timbalan Menteri Pertahanan - Dato’ Sri Ikmal Hisham bin Abdul Aziz
Bismillahi Rahmani Rahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera Tuan Yang di-Pertua. Terima kasih diucapkan Yang Berhormat Hulu Langat kerana bertanyakan mengenai peranan Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) dan Kor Kesihatan ATM dalam membantu mangsa bencana sekiranya bencana berskala besar yang berlaku seperti yang dialami pada peristiwa banjir besar pada penghujung tahun lalu.
Tambah lagi, kawasan Hulu Langat mempunyai Empangan Sungai Langat dan Empangan Semenyih yang menampung keperluan bekalan air bagi penduduk sekitar serta mempunyai risiko banjir sekiranya air dilepaskan pada kadar yang banyak apabila menerima taburan hujan yang tinggi. Saya tahu Yang Berhormat Hulu Langat ada berjumpa dengan Panglima Angkatan Tentera semasa banjir, terima kasih atas keprihatinan.
Untuk pengetahuan Yang Berhormat Hulu Langat dan Dewan yang mulia ini, dalam aspek pengurusan bencana, Tentera Darat Malaysia sentiasa bersedia untuk membantu Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dalam misi bantuan kepada mangsa bencana alam melalui pelbagai kor dan rejimen di bawah perkhidmatan Tentera Darat. Ini termasuklah melibatkan Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) dan Kor Kesihatan Diraja (KKD).
Timbalan Menteri Pertahanan - Dato’ Sri Ikmal Hisham bin Abdul Aziz
Dalam situasi bencana, Rejimen Askar Jurutera Diraja yang diketuai oleh Mejar Jeneral (Dua Bintang) Dato’ Pahlawan Ir. Haji Chapiti bin Haji Redzwan selaku Ketua Jurutera berperanan memberikan bantuan sokongan dari aspek kejuruteraan medan seperti membina jambatan sementara (compact Bailey), pembinaan laluan alternatif, pembersihan halangan serta bantuan penyediaan perkhidmatan penting seperti bekalan elektrik dan air serta telekomunikasi.
Peranan perkhidmatan Kor Kesihatan Diraja pula yang dipimpin oleh Lt. Jen. (Tiga Bintang) Dato' (Dr) Zulkeffeli bin Mat Jusoh selaku Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan ATM adalah memberikan bantuan perubatan kecemasan dan juga kawalan penyakit berjangkit bagi membantu Kementerian Kesihatan Malaysia. Pelaksanaan ini dilakukan dengan mengatur gerakkan tim perubatan perhadapan dan membina hospital medan berdasarkan keperluan semasa. Ia juga termasuk melakukan pembedahan kecemasan di lapangan sekiranya diperlukan.
Daripada aspek kelengkapan dan peralatan pula, perolehan aset Tentera Darat adalah lebih memfokuskan kepada kelengkapan dan peralatan pertahanan negara. Walau bagaimanapun, sebahagian daripada kelengkapan dan peralatan tersebut juga boleh digunakan bagi tugas-tugas untuk menangani bencana alam.
Timbalan Menteri Pertahanan - Dato’ Sri Ikmal Hisham bin Abdul Aziz
Antara peralatan tersebut adalah bot tempur, outboard motor, life jacket, trak 3 tan, trak 5 tan, trak 7 tan dan peralatan kejuruteraan medan seperti keeper, backhoe, excavator, bulldozer serta peralatan perubatan seperti peralatan pertolongan cemas, peralatan perlindungan diri, peralatan perubatan dan pembedahan untuk hospital medan.
Secara umumnya, aset-aset tersebut adalah tidak mencukupi bagi menampung bencana berskala besar. Walau bagaimanapun, Kementerian Pertahanan dengan persetujuan Kementerian Kewangan bersedia untuk terus melaksanakan perolehan pada setiap tahun bagi meningkatkan kesiagaan Angkatan Tentera Malaysia sama ada bagi melaksanakan peranan utamanya dalam menjaga keselamatan negara atau misi sekunder dalam memberikan bantuan semasa bencana. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato' Mohd Rashid Hasnon
Soalan tambahan pertama. Sila, Yang Berhormat Hulu Langat.
Datuk Haji Hasanuddin bin Mohd Yunus - Hulu Langat
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua dan terima kasih Yang Berhormat Timbalan Menteri.
Saya merujuk pada 12 Februari 2019, Panglima Tentera Darat ketika itu, Jeneral Bersara Datuk Seri Ahmad Hasbullah ada mengatakan bahawa mereka sedang menyusun balik RAJD ini dengan struktur yang baharu dengan empat bidang utama kejuruteraan medan, perkhidmatan kejuruteraan profesional, kejuruteraan pakar senggara perhubungan dan geospatial pertahanan.
Tuan Yang di-Pertua, dengan penyusunan yang kita harapkan ini, saya ingin merujuk kepada penyusunan yang dibuat tempoh hari ketika berlaku banjir pada bulan Disember baru-baru ini. Apakah mekanisme jalinan kerjasama antara ATM dan NADMA berjalan baik? Ini kerana pandangan di luar sana, berlaku percanggahan dalam memutuskan tindakan segera, tindakan pantas ketika diperlukan untuk mengambil tindakan dalam membantu menyelamat mangsa-mangsa banjir baru-baru ini. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato' Mohd Rashid Hasnon
Terima kasih Yang Berhormat Hulu Langat. Sila, Yang Berhormat Timbalan Menteri.
Dato’ Sri Ikmal Hisham bin Abdul Aziz
Terima kasih Yang Berhormat Hulu Langat dan sahabat saya dari Hulu Langat. Saya hendak maklum juga kepada semua Ahli Dewan, hari ini, 1 Mac juga merupakan Hari Tentera Darat Malaysia. Tahun ini merupakan sambutan ke-89. Moto Tentera Darat ialah Gagah Setia. Sambutan tahun ini kini disambut di Kem Segenting di Port Dickson, Negeri Sembilan.
Jadi, menjawab daripada Yang Berhormat Hulu Langat, sebagai makluman Yang Berhormat dan semua, Angkatan Tentera Malaysia merupakan salah satu agensi
Dato’ Sri Ikmal Hisham bin Abdul Aziz
daripada pelbagai agensi kerajaan yang lain yang ditugaskan dalam membantu dalam pengurusan banjir terutama operasi mencari dan menyelamat. Perkara ini termaktub seperti dalam Arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) Nombor 20 iaitu berkaitan perkara dasar dan mekanisme pengurusan bencana.
Bagi maksud ini, ATM melalui Tentera Darat dilantik sebagai peneraju dalam pengurusan operasi banjir ATM di bawah Operasi Murni di mana penyelarasan akan dibuat oleh Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di peringkat persekutuan, negeri dan daerah. Saya minta tambahan sedikit sebab penting untuk pengetahuan semua. Bagi maksud ini, ATM melalui Tentera Darat dilantik sebagai arahan pengaktifan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) bagi menghadapi Monsun Timur Laut dalam 2021/2022 ini telah dikeluarkan kepada semua agensi dan NADMA pada 2 November 2021.
Berdasarkan kepada arahan tersebut, ATM telah mengarahkan tentera darat untuk bersiap sedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan berlakunya banjir. Bagi tujuan tersebut, semua Panglima Divisyen dan Briged di setiap wilayah dan negeri telah meletakkan pasukan-pasukan mereka dalam status siap sedia untuk diatur gerak bagi melaksanakan bantuan dan Pegawai Perhubungan Tentera dihantar ke setiap Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) negeri dan daerah untuk memantau serta menyemak situasi semasa.
Okey, mengenai mekanisme jalinan antara ATM dan NADMA, sememangnya berjalan dengan baik kerana NADMA adalah penyelaras bencana di peringkat persekutuan sebagaimana Arahan MKN 20. Tiada percanggahan dalam membuat keputusan bagi menyegerakan bantuan menyelamat mangsa-mangsa banjir kerana tindakan bantuan tersebut dilaksanakan berdasarkan kepada arahan yang telah diberikan oleh pucuk pimpinan ATM sebagaimana direktif Penghulu Operasi Bantuan Bencana Banjir.
Akhir sekali, ini penting untuk pengetahuan semua. Seperti yang sedia maklum, tindakan semasa ATM berkaitan keadaan banjir yang kini melanda Pantai Timur Semenanjung khususnya negeri saya Kelantan dan Terengganu, suka saya jelaskan, pihak ATM melalui Briged Kelapan yang berpangkalan di Kem Desa Pahlawan Kota Bharu, Kelantan memberikan perhatian sepenuhnya terhadap situasi banjir di kedua-dua negeri ini.
Ketika ini telah mengatur gerak secara khusus beberapa pasukannya ke kawasan yang terkesan seperti:
(i) Batalion Ke-21 Rejimen Askar Melayu Diraja ke Rantau Panjang, Kelantan;
(ii) Batalion Ke-16 Rejimen Askar Melayu Diraja ke Hulu Terengganu yang teruk banjirnya; dan
(iii) Rejimen Kelima Rejimen Artileri Diraja ke Besut, Terengganu.
Selain itu, daripada Rejimen Pertama Kor Armor Diraja dan Briged Keempat Infantri Mekanize yang berpangkalan di Kuantan juga diatur gerak ke Daerah Kemaman.
Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato' Mohd Rashid Hasnon
Terima kasih Yang Berhormat Timbalan Menteri. Soalan tambahan yang kedua, saya jemput Yang Berhormat di sebelah sini, Yang Berhormat Jerantut.
Dato’ Haji Ahmad Nazlan bin Idris - Jerantut
Terima kasih, Tuan Yang di- Pertua. Terima kasih, Yang Berhormat Timbalan Menteri atas jawapan yang diberikan.
Saya hendak mengucapkan selamat menyambut Hari Ulang Tahun Tentera Darat.
Tahniah dan terima kasih kepada warga tentera yang sentiasa memberi bantuan kepada semua rakyat Malaysia.
Tuan Yang di-Pertua, saya melihat antara aset yang penting yang diperlukan semasa menghadapi cabaran bencana ialah pesawat helikopter. Di mana ia mempunyai
Dato’ Haji Ahmad Nazlan bin Idris - Jerantut
keupayaan mobiliti yang pantas, sama ada dalam membawa peralatan atau membawa mangsa yang tercedera dan cepat ke kawasan selamat.
Pertanyaan saya, selaras dengan keputusan Kementerian Pertahanan untuk menghentikan penggunaan Helikopter Nuri pada tahun 2020 lalu, adakah kementerian mempunyai pesawat gantian yang mencukupi bagi memastikan ATM sentiasa bersedia dan menampung keperluan bantuan search and rescue menggunakan helikopter ketika bencana pada masa hadapan terutama di kawasan-kawasan kritikal seperti di kawasan Parlimen Jerantut sendiri, di kawasan pedalaman di Ulu Tembeling dan sebagainya?
Terima kasih, Tuan Yang di-Pertua.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato' Mohd Rashid Hasnon
Terima kasih, Yang Berhormat Jerantut. Sila, Yang Berhormat Timbalan Menteri, satu minit.
Dato’ Sri Ikmal Hisham bin Abdul Aziz
Terima kasih sahabat saya Yang Berhormat Jerantut yang cukup aktif dan peka. Sememangnya kita tahu Jerantut juga adalah antara kawasan yang sentiasa menghadapi banjir.
Untuk pengetahuan Yang Berhormat Jerantut, kerajaan telah memutuskan penggantian Helikopter Nuri dilaksana melalui dua kaedah iaitu melalui rancangan jangka pendek iaitu melalui kaedah sewaan helikopter dan rancangan jangka panjang melalui perolehan helikopter baharu pada Rancangan RMKe-13 dan RMKe-14. Selaras dengan keputusan tersebut, Kementerian Pertahanan melalui TUDM telah merancang perolehan pesawat helikopter berdasarkan Pelan Pembangunan Keupayaan TUDM 2055 ataupun dipanggil CAP55, dengan izin.
Bagi menjawab pertanyaan Yang Berhormat Jerantut dan memastikan ATM sentiasa bersiap sedia dan mampu melaksanakan Operasi Search and Rescue ketika bencana, bantuan ini digalas sepenuhnya oleh Helikopter EC 725 AP sedia ada dan Helikopter AW139 yang baru diperolehi dengan kaedah sewaan. Melalui kaedah sewaan ini, TUDM telah menerima sebanyak tiga daripada empat Helikopter AW139 dari Syarikat Weststar Aviation Services Sdn. Bhd.
Helikopter ini telah beroperasi secara rasmi pada 1 Februari 2022 lalu dan ditempatkan di Nombor 3 Skuadron Pangkalan Udara Butterworth. Bagi rancangan jangka panjang, perolehan sebanyak 24 buah helikopter baharu berkemampuan Search and Rescue (SAR), utiliti telah dirancang secara berfasa melalui RMKe-13 dan RMKe-14.
Akhir sekali, untuk pengetahuan semualah, tentera memang kita sentiasa siapsiaga. Selain daripada pertahanan negara, ATM sentiasa siapsiaga juga membantu tatkala negara menghadapi bencana alam. Jadi amat penting ATM diberikan kelulusan kelengkapan dan aset yang mencukupi. Hari ini, kita fakta, kuarters kediaman Tentera Darat dan kediaman tentera dan semualah, tidak kondusif dan agak daif dan perlu pembelaan yang segera. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato' Mohd Rashid Hasnon
Terima kasih.
Tuan Karupaiya a/l Mutusami - Padang Serai
Soalan tambahan.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato' Mohd Rashid Hasnon
Saya bagi peluang yang ketiga, ringkas. Saya jemput Yang Berhormat Padang Serai.
Tuan Karupaiya a/l Mutusami - Padang Serai
Terima kasih, Tuan Yang di- Pertua. Kor Jurutera adalah kor yang saya berkhidmat selama 21 tahun dan hari ini Hari Tentera Darat yang ke-89 dan juga hari bersara saya yang ke-28 daripada tentera.
[Tepuk] Soalan saya, Kor Jurutera adalah memang dia hebat dengan bencana alam dan sebagainya. Mereka ada pengalaman yang luas tetapi apa yang saya khuatir adalah peralatan-peralatan yang masih mereka pegang itu adalah mengikut zaman dahulu. Kita harus mengubahsuai dan mengikut zaman sekarang, perlu diperbaiki dan perlu ditambah peralatan-peralatan mengikut zaman moden.
Oleh sebab sekarang kita ada peralatan yang canggih, kita perlu tambah sebab Kor Jurutera memang pakar dalam bencana alam dan juga apa sahaja.
Tuan Karupaiya a/l Mutusami - Padang Serai
Mereka ditaskkan first in, last out. Walaupun perang, dia pergi dulu dan balik *last.
First* dia pergi, dia bina jambatan. Bila balik, dia akan musnahkan jambatan-jambatan supaya musuh tidak gunakan balik jambatan yang kita lalui.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato' Mohd Rashid Hasnon
Soalannya?
Tuan Karupaiya a/l Mutusami - Padang Serai
Banyak perkara yang dilakukan.
Oleh itu, saya berharap kerajaan akan ambil perhatian yang serius terhadap Kor Jurutera ini dan memainkan peranan yang penting supaya mereka akan bersedia bila-bila masa untuk mengatasi apa-apa masalah banjir di dalam negara ini.
Sekian, terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato' Mohd Rashid Hasnon
Yang Berhormat Timbalan Menteri, sila. Satu minit sahaja.
Dato' Sri Ikmal Hisham bin Abdul Aziz
Terima kasih Yang Berhormat Padang Serai, seorang veteran. Sudah 28 tahun rupanya sudah bersara.
Diakui ada peralatan kita yang sudah uzur, yang perlu diperbaiki, perlu diselenggara. Jadi, ringkas sahaja. Saya mohonlah kepada semua untuk menyokong ATM dan MINDEF untuk mendapatkan peralatan-peralatan baharu kerana di negara ini, bila berlaku sahaja bencana, kita akan cari tentera ya. Jadi, penting untuk memastikan moral angkatan tentera kita sentiasa di tahap tertinggi. Walaupun kita siap siaga tetapi dengan peralatan yang lebih lengkap, lebih canggih, sudah tentulah ia memudahkan kita menghadapi apa jua masalah yang dihadapi oleh negara. Terima kasih.
7. Tuan Nik Mohamad Abduh bin Nik Abdul Aziz [ Bachok] minta Perdana Menteri menyatakan dasar dan perancangan yang telah dirangka setelah pelantikan pengerusi baharu Lembaga Tabung Haji dalam mengembalikan keyakinan pendeposit.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) - Datuk Haji Ahmad Marzuk bin Shaary
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, terima kasih Yang Berhormat Bachok.
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat dan Dewan yang mulia, pengerusi baharu Lembaga Tabung Haji, Tan Sri Azman Haji Mokhtar yang dilantik pada 20 Disember 2021 sangat berpengalaman luas dalam aspek pelaburan dan transformasi GLC semasa beliau menerajui Khazanah Nasional dari tahun 2004 hingga 2018. Ini sudah pasti akan membantu Lembaga Tabung Haji dalam usahanya merangka dan melaksanakan transformasi agar terus kekal kukuh dan mampan.
Tabung Haji telah merangka Pelan Transformasi Strategik 2022-2024 iaitu pelan tiga tahun yang dinamakan Hijrah 24, bertujuan untuk meneruskan usaha pengukuhan Tabung Haji selaras dengan mandat penubuhannya untuk mengurus simpanan umat Islam yang mahu menunaikan ibadah haji. Hijrah 24 juga adalah untuk menyokong usaha kerajaan secara berterusan memperkukuhkan semua syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dalam membantu pemulihan ekonomi negara.
Hijrah 24 meliputi transformasi lima teras utama iaitu pengurusan pelaburan, pengurusan haji, pengurusan deposit, modal insan dan juga tadbir urus. Pelan ini akan menentukan arah transformasi Tabung Haji untuk menjadi organisasi berprestasi tinggi dan mampan. Ia merangkumi 24 inisiatif strategik termasuk inisiatif sokongan digitalisasi dan komunikasi. Ini termasuk usaha untuk mengukuhkan Akta Tabung Haji 1995 dan menambah baik modal operasi serta aspek tadbir urus Tabung Haji.
Hasil semakan dan pindaan Akta Tabung Haji akan dibentangkan di Parlimen dan Pelan Strategik Hijrah 24 juga akan diumumkan kepada umat Islam khususnya pendeposit Tabung Haji. Perancangan dan tindakan telah dan akan diatur secara strategik dan bersasar untuk memastikan Tabung Haji lebih berdaya saing dan kekal relevan untuk tahun-tahun yang mendatang. Sekian, terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato' Mohd Rashid Hasnon
Soalan tambahan pertama. Sila, Yang Berhormat Bachok.
Tuan Nik Mohamad Abduh bin Nik Abdul Aziz - Bachok
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua dan terima kasih Yang Berhormat Menteri atas jawapan yang telah diberikan. Kita sudah pasti amat berharap agar Lembaga Tabung Haji dapat terus berjaya menjaga matlamat penubuhannya, membina dasar dan polisinya dengan baik dan merencanakan dan melaksanakan perancangan dan tindakan yang mampu mengukuhkan lagi keyakinan para pendeposit dan rakyat secara umumnya. Kita doakan Lembaga Tabung Haji terus berjaya menempuh segala kesukaran yang sedang dihadapi.
Soalan saya. Seperti yang kita sedia maklum, syarikat TH Plantation pada zaman Kerajaan PH dahulu telah meluluskan usaha penjualan ladang-ladang yang dikatakan ‘sakit’ sebanyak lebih 70,000 hektar. Soalan saya, bagaimanakah prestasi semasa ladang-ladang ini? Adakah ia telah berjaya dipulihkan atau pihak TH Plantation masih lagi ingin meneruskan pelan penjualan besar-besaran tersebut? Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato' Mohd Rashid Hasnon
Terima kasih Yang Berhormat Bachok. Sila, Yang Berhormat Timbalan Menteri. Satu minit.
Datuk Haji Ahmad Marzuk bin Shaary
Terima kasih kepada sahabat saya Yang Berhormat Bachok atas keprihatinan terhadap institusi kewangan umat Islam yang terbesar dalam negara kita. Kita doakan supaya ia akan terus menjadi sebuah institusi yang diyakini oleh para pendeposit.
Berkaitan dengan soalan Yang Berhormat berkaitan dengan Tabung Haji Plantation, salah satu daripada sayap Tabung Haji itu sendiri. Untuk makluman Dewan dan juga Tuan Yang di-Pertua, kerajaan yang tertegak pada hari ini adalah disebabkan iltizam untuk menyelamatkan aset-aset umat Islam terutamanya aset Lembaga Tabung Haji daripada terus dilelong dan dijual sewenang-wenangnya. Alhamdulillah, setelah bertukarnya kerajaan, kita telah menghentikan segala usaha penjualan aset-aset Lembaga Tabung Haji terutamanya berkaitan dengan Tabung Haji Plantation.
Namun begitu, aset ini sebagaimana kita sedia maklum, ia terbiar begitu lama sepanjang pemerintahan yang lalu, tidak dibaja, tidak dijaga dengan elok dan kerajaan pada hari ini telah pun meluluskan pelan rehab aset-aset yang terbiar tersebut bagi memaksimumkan hasil pengeluaran ladang-ladang ini khususnya sebanyak lebih RM150 juta telah diperuntukkan untuk kos membaja dan memulihkan ladang-ladang ini bagi menghasilkan pulangan yang optimum.
Sebagai perbandingan yang lebih jelas, saya hendak sebut kepada Dewan yang mulia ini bahawa hasil jualan Tabung Haji Plantation telah meningkat kepada RM760.8 juta pada tahun 2021 berbanding RM493.65 juta pada tahun 2019. Peningkatan sejumlah RM332.85 juta setelah kita mengambil alih teraju pentadbiran terutama berkaitan dengan Lembaga Tabung Haji.
Ini sebuah tindakan yang sangat tepat apabila kita telah pun meneliti semula penjualan-penjualan yang dicadangkan dan jumlahnya begitu besar dan sebahagian daripada penjualan yang belum dimuktamadkan telah pun kita batalkan dan kerajaan telah pun mengusahakan untuk mengusahakan sendiri ladang-ladang itu di bawah kelolaan Tabung Haji. Terbukti dengan harga sawit yang ada pada hari ini, ia sangat memberi keuntungan dan pulangan yang banyak khususnya kepada Tabung Haji dan akhirnya diagihkan juga kepada para pendeposit. Sekian, terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato' Mohd Rashid Hasnon
Soalan tambahan yang kedua. Saya jemput Yang Berhormat Kepong. Sila.
Tuan Lim Lip Eng - Kepong
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Soalan tambahan saya, apakah status siasatan RCI terhadap Lembaga Tabung Haji dan bila agaknya keputusan RCI ini boleh diumumkan kepada rakyat? Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato' Mohd Rashid Hasnon
Terima kasih Yang Berhormat Kepong. Sila, Yang Berhormat Timbalan Menteri.
Datuk Haji Ahmad Marzuk bin Shaary
Terima kasih Yang Berhormat Kepong yang juga prihatin terhadap aset-aset Lembaga Tabung Haji.
Pihak kerajaan, sebagaimana kita sedia maklum, telah pun menubuhkan RCI yang telah pun dibentuk oleh Kabinet dan telah pun diumumkan keanggotaan RCI dan telah pun diumumkan terma dan juga skop yang akan diuruskan oleh RCI ini. Insya-Allah, mereka sedang menjalankan proses siasatan. Dalam jangka masa yang tertentu akan diumumkan kepada awam dan juga akan diumumkan kepada Parlimen ini, insya-Allah, dalam masa yang telah pun ditetapkan akan diumumkan kepada semua. Terima kasih Yang Berhormat.
[Tuan Yang di-Pertua **mempengerusikan Mesyuarat****]
8. Datuk Rozman bin Isli [Labuan] minta Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri menyatakan kedudukan terkini pelaburan negara di luar negeri, pelaburan asing ke Malaysia, jumlah dan jenis pelaburan serta usaha Kementerian bagi meningkatkan jumlah pelaburan ke Wilayah Persekutuan Labuan.
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri - Datuk Lim Ban Hong
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Berdasarkan Jabatan Perangkaan Malaysia dan Bank Negara Malaysia, pelaburan langsung Malaysia di luar negara merekodkan sejumlah RM39.3 bilion dalam tempoh Januari hingga September 2021 sekali gus mencerminkan daya saing syarikat-syarikat tempatan di luar negara dalam pelbagai sektor termasuk dalam aktiviti kewangan dan insurans, takaful sebanyak RM11.6 bilion, perlombongan dan pengkuarian termasuk minyak dan gas asli sebanyak RM9.01 bilion, pembuatan sebanyak RM7.6 bilion dan pembinaan sebanyak RM1.3 bilion.
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri - Datuk Lim Ban Hong
Untuk pelaburan asing ke Malaysia pula, sungguhpun situasi ekonomi dunia terkesan dengan pandemik COVID-19, ini tidak menjejaskan keyakinan pelabur terhadap Malaysia. Bagi tempoh Januari hingga September 2021, jumlah keseluruhan pelaburan yang diluluskan dalam sektor perkilangan, perkhidmatan dan utama melonjak sebanyak RM51.5 peratus berbanding jumlah pelaburan yang diluluskan dalam tempoh yang sama pada 2020.
Pelaburan ini melibatkan 3,037 projek yang dijangka akan menjana sejumlah 79,899 peluang pekerjaan baharu. Malah, pelaburan asing daripada negara-negara seperti Singapura, Republik Rakyat China, Austria, Jepun dan Belanda yang merekodkan sejumlah RM106.1 bilion merupakan penyumbang utama kepada jumlah keseluruhan pelaburan negara yang diluluskan bagi tempoh Januari hingga September 2021.
Sebanyak RM91.7 bilion atau 86.4 peratus daripada keseluruhan jumlah pelaburan asing adalah daripada sektor perkilangan. Ini diikuti oleh sektor perkhidmatan dengan jumlah RM10.9 bilion iaitu 10.3 peratus dan sektor utama adalah sebanyak RM3.5 bilion iaitu 3.3 peratus. Tuan Yang di-Pertua, untuk jumlah dan jenis pelaburan ke Labuan, sukacita dimaklumkan bahawa dari tahun 1980 sehingga September 2021, jumlah pelaburan yang dilaksanakan di Wilayah Persekutuan Labuan dalam sektor perkilangan mencecah RM4.2 bilion yang terdiri daripada 28 buah projek dengan 3,629 peluang pekerjaan.
Daripada jumlah keseluruhan tersebut, RM0.5 bilion atau 11 peratus merupakan pelaburan langsung asing dalam pelbagai industri, termasuk produk logam asas, kimia, jentera dan kelengkapan; produk galian bukan logam, kelengkapan pengangkutan, produk kayu serta produk logam fabrikasi.
Manakala, untuk sektor perkhidmatan pula di bawah kawal selia MIDA, jumlah pelaburan yang telah dilaksanakan dari tahun 1980 sehingga September 2021 di Wilayah Persekutuan Labuan ialah sebanyak 15 projek yang bernilai RM91.3 juta dengan 633 peluang pekerjaan dalam sektor seperti hotel dan pelancongan, perkhidmatan dan sokongan.
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri - Datuk Lim Ban Hong
Tuan Yang di-Pertua, untuk menarik lebih banyak pelaburan ke Wilayah Persekutuan Labuan, MITI melalui MIDA sentiasa berganding bahu dengan agensi-agensi kerajaan setempat, termasuk Labuan Offshore Financial Services Authority (LOFSA), Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Alam Sekitar Sabah (KEPKASS) dan juga Perbadanan Labuan ke arah menjadikan Labuan sebagai salah sebuah destinasi pelaburan terpilih di rantau ini. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Tuan Haji Ahmad bin Hassan - Papar
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Terima kasih Yang Berhormat Timbalan Menteri atas jawapan yang diberikan. Saya difahamkan semasa briefing oleh PETRONAS di Parlimen ini beberapa tahun lepas bahawa ada satu dasar yang memastikan pelaburan downstream oil and gas berlaku di Pengerang. Di Labuan, PETRONAS mempunyai methanol plant. Saya difahamkan ia adalah yang keempat terbesar di dunia untuk satu-satu lokasi.
Bolehkah kita mengadakan satu dasar untuk memastikan downstream methanol- based product ini akan datang ke Labuan? Selama ini methanol product itu terus dieksport dalam bentuk metanol sahaja dan ia nya boleh dibuat secara gradual ataupun staggered dengan target time frame yang sesuai supaya sebahagian besar daripada metanol itu akan digunakan untuk downstream di Labuan.
Kita minta MITI mengadakan insentif yang cukup menarik untuk memastikan pelabur datang ke Labuan untuk methanol-based product itu di Labuan.
Datuk Lim Ban Hong
Terima kasih kepada Yang Berhormat atas soalan yang dikemukakan. Tuan Yang di-Pertua, oleh kerana laporan yang telah disebut oleh Yang Berhormat tadi merupakan laporan yang spesifik, saya akan jawab secara bertulis tentang cadangan pelaburan yang hendak dibawa ke Labuan. Akan tetapi saya ingin menyatakan bahawa Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), kita sentiasa bekerjasama dengan agensi-agensi di Labuan, termasuk Perbadanan Labuan.
Contohnya, satu sesi padanan pelaburan yang telah dilakukan untuk menarik pelabur asing ke Labuan yang diadakan pada Oktober 2021 telah menyasarkan USD240 juta pelaburan untuk tempoh 2021 dan 2022.
Jadi dalam konteks ini, MITI bersama dengan agensi di bawahnya, termasuk MIDA akan sentiasa membantu. Untuk projek yang telah disebut secara spesifik oleh Yang Berhormat Labuan, saya akan mendapatkan maklumat berkenaan dengan perkara tersebut dan memberi jawapan secara bertulis. Terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua
Terima kasih, ada soalan tambahan kedua? Yang Berhormat Tumpat, silakan.
Dato’ Haji Che Abdullah bin Mat Nawi - Tumpat
Terima kasih Tuan Yang di- Pertua. Berkaitan dengan pelaburan asing, kita dapati syarikat-syarikat gergasi asing seperti Tesla akan melabur RM4 bilion dan Amazon pula akan melabur RM2.85 bilion di Indonesia sebagai tapak pelaburan mereka yang baharu. Memandangkan negara kita juga mempunyai infrastruktur digital dan pekerja yang berkemahiran tinggi seperti di Cyberjaya, adalah merugikan jika syarikat-syarikat gergasi ini tidak memilih negara kita.
Soalan saya, apakah perancangan kementerian untuk mempromosikan kelebihan infrastruktur digital di negara kita ini kepada pelabur luar? Terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua
Terima kasih. Silakan Yang Berhormat Timbalan Menteri.
Datuk Lim Ban Hong
Tuan Yang di-Pertua, untuk makluman, untuk menarik lebih ramai lagi pelabur-pelabur asing dalam sektor digital ekonomi seperti tadi yang disebut oleh Yang Berhormat Tumpat, kita telah menubuhkan sebuah pejabat yang dinamakan sebagai Digital Investment Office (DIO). Iaitu sebuah platform usaha sama digital antara MIDA dan juga MDEC untuk menyelaras dan juga menyediakan fasiliti kepada semua pelaburan yang berkaitan dengan digital ekonomi.
Kita juga telah menyasarkan penarikan pelaburan digital sebanyak RM70 bilion menjelang tahun 2025. Bukan sahaja itu Tuan Yang di-Pertua, kita juga telah melancarkan kerangka yang dinamakan sebagai Aspirasi Pelaburan Nasional. Di mana di bawah Aspirasi Pelaburan Nasional, salah satu teras kita ialah untuk mencipta pekerjaan bernilai tinggi dan juga meningkatkan kompleksiti ekonomi.
Datuk Lim Ban Hong
Ini di mana dalam meningkatkan kompleksiti ekonomi ini, kita akan membangunkan kluster-kluster ekonomi sedia ada dan juga membangunkan kluster ekonomi baharu seperti digital ekonomi yang disebut oleh Yang Berhormat Tumpat, terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua
Terima kasih. Yang Berhormat semua, sekarang tamatlah sesi untuk waktu pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan pada hari ini. Terima kasih Ahli- ahli Yang Berhormat semua.
[Sesi untuk Pertanyaan-pertanyaan bagi Jawab Lisan tamat]
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang- undang) - Datuk Wira Hajah Mas Ermieyati binti Samsudin
Tuan Yang di-Pertua, saya mohon mencadangkan:
“Bahawa mengikut Peraturan Mesyuarat 90(2) dan dengan persetujuan Tuan Yang di-Pertua, saya mengemukakan usul untuk merentikan kuat kuasa Peraturan Mesyuarat 6 iaitu bagi menangguhkan Pemilihan Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat seperti Perkara nombor 1 yang tertera dalam Aturan Urusan Mesyuarat dan usul-usul hari ini ke Mesyuarat Kedua yang akan datang.”
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) - Datuk Mastura binti Tan Sri Dato’ Mohd Yazid
Tuan Yang di-Pertua, saya mohon menyokong.
Tuan Yang di-Pertua
Ahli-ahli Yang Berhormat, sekarang saya kemukakan masalah kepada Majlis untuk diputuskan. Masalahnya ialah usul seperti yang dikemukakan tadi hendaklah disetujukan.
[Usul dikemuka bagi diputuskan; dan disetujukan]
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang- undang) - Datuk Wira Hajah Mas Ermieyati binti Samsudin
Tuan Yang di-Pertua, “Bahawa mengikut Peraturan Mesyuarat 12(1), saya mohon mencadangkan bahawa Majlis Mesyuarat pada hari ini tidak akan ditangguhkan sehingga jam 6.30 petang dan selepas itu Majlis Mesyuarat akan ditangguhkan sehingga jam 10 pagi hari Selasa, 2 Mac 2022.”
Timbalan Menteri Dalam Negeri I - Dato’ Sri Dr. Haji Ismail bin Haji Mohamed Said
Tuan Yang di-Pertua, saya mohon menyokong.
Tuan Yang di-Pertua
Ahli-ahli Yang Berhormat, sekarang saya kemukakan masalah kepada Majlis untuk diputuskan. Masalahnya ialah usul seperti yang dikemukakan tadi hendaklah disetujukan.
[Usul dikemuka bagi diputuskan; dan disetujukan]
Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim - Port Dickson
Tuan Yang di-Pertua, saya telah mengemukakan Usul 18(1) berbunyi.
“Bahawa Dewan yang bersidang pada hari ini membincangkan pembongkaran melalui keterangan oleh Mantan Pengerusi Goldman Sachs Group Inc Asia Tenggara - Tim Leissner di Mahkamah Amerika Syarikat mengenai amalan rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan institusi Malaysia, khasnya Bank Negara Malaysia berentetan daripada skandal 1MDB.”
Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim - Port Dickson
Ini adalah perkara tertentu kerana pembongkaran tersebut membabitkan Bank Negara Malaysia ketika di bawah pimpinan mantan Gabenor Tan Sri Dr. Ungku Zeti Akhtar binti Ungku Abdul Aziz yang meluluskan transaksi segera berjumlah USD1 bilion dengan membabitkan dakwaan pembayaran rasuah kepada Datuk Tawfiq Ayman, suami mantan Gabenor.
Ini perkara berkenaan dengan kepentingan orang ramai kerana Bank Negara Malaysia ialah sebuah institusi tonggak kewangan negara dan pembongkaran ini mestilah dijelaskan dalam Dewan yang mulia ini oleh Kerajaan Persekutuan demi memelihara maruah negara dan membersihkan persepsi buruk Kerajaan Malaysia.
Ini perkara berkehendak disegerakan kerana pembongkaran kes terkini terdedah di peringkat antarabangsa dan memerlukan penjelasan segera kerajaan berikutan kegagalan agensi penguat kuasa negara, khususnya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia mengesan, menyiasat dan mendakwa mana-mana warganegara Malaysia jika terbabit dalam apa-apa kesalahan transaksi kewangan tersebut.
Tuan Yang di-Pertua
Terima kasih Yang Berhormat. Ahli-ahli Yang Berhormat, saya telah menerima satu pemberitahu usul di bawah Peraturan Mesyuarat 18(1) oleh Yang Berhormat Ketua Pembangkang pada Isnin, 28 Februari 2022 (semalam). Teks usul itu adalah seperti yang dibaca oleh Yang Berhormat Port Dickson sebentar tadi.
Sepertimana biasa, bagi membolehkan perkara ini ditimbangkan oleh Majlis Mesyuarat, saya sebagai Tuan Yang di-Pertua hendaklah berpuas hati bahawa perkara yang
dibangkitkan oleh Yang Berhormat itu memenuhi tiga syarat iaitu
(i) ia mesti mengenai perkara yang tertentu (spesifik);
(ii) kepentingan orang ramai; dan
(iii) perlu disegerakan.
Saya telah meneliti usul tersebut. Mengenai perkara yang pertama tertentu itu, usul ini mempunyai dua bahagian. Satunya ialah mengenai keterangan Tim Leissner di mahkamah Amerika Syarikat mengenai amalan rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan institusi Malaysia. Saya rasa perkara-perkara amalan rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan institusi Malaysia adalah agak terlalu am dan tidak berapa spesifik.
dibangkitkan oleh Yang Berhormat itu memenuhi tiga syarat iaitu
Namun demikian, usul ini seterusnya menyatakan khasnya Bank Negara Malaysia berentetan daripada skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan mengenai pembongkaran membabitkan Bank Negara Malaysia ketika di bawah pimpinan mantan Gabenor BNM, Tan Sri Dr. Ungku Zeti Akhtar binti Ungku Abdul Aziz yang meluluskan transaksi segera berjumlah USD1 bilion dengan membabitkan dakwaan pembayaran rasuah kepada Datuk Tawfiq Ayman, suami mantan Gabenor BNM. Saya dapati perkara tersebut ialah satu perkara yang tertentu.
Keduanya, kepentingan orang ramai. Saya bersetuju ia adalah mengenai kepentingan orang ramai dan saya juga bersetuju bahawa perkara itu perlu disegerakan.
[Tepuk] Oleh yang demikian, saya membenarkan usul tersebut untuk dirundingkan pada hari ini di Kamar Khas, 2.30 petang di mana saya sendiri akan mempengerusikannya.
Terima kasih Yang Berhormat.
Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim - Port Dickson
Ya, Tuan Yang di-Pertua. Saya berterima kasih kepada Tuan Yang di-Pertua kerana memberikan persetujuan. Akan tetapi kerana perkara ini perkara yang agak penting dan mendesak, implikasi nasional, bahkan antarabangsa dan juga imej Bank Negara Malaysia dan maruah negara, saya tidak fikir ia bawa ke Kamar Khas. Ia sepatutnya dibahaskan di sini.
Tuan Yang di-Pertua
Maaf Yang Berhormat. Sebenarnya ia akan dirundingkan bukan untuk dibahaskan pertamanya, mengikut 18(1) dan 18(2). Keduanya, kedudukan Kamar Khas itu serupa sahaja seperti Dewan Majlis ini kerana ia open dan terbuka kepada orang ramai. Dengan kita bawa ke Kamar Khas itu, kita tidak akan mengganggu Aturan Urusan Mesyuarat kerana hari ini kita mempunyai cadangan Usul Titah Diraja dan sebagainya, di mana pencadang akan mengambil masa 90 minit, penyokong sejam saya rasa dan Ketua Pembangkang pun lagi 90 minit. So, kita mempunyai time constraint. Maaf Yang Berhormat.
Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim - Port Dickson
Minta maaf juga ya, bahawa apa yang kita bahaskan dalam 18(1) ini ada kaitan dengan Titah Diraja mengenai rasuah dan juga apa yang saya akan ungkapkan selaku Ketua Pembangkang.
Tuan Yang di-Pertua
Faham.
Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim - Port Dickson
Jadi, saya tidak fikir ia menjejaskan. Kalau ia bermakna untuk mengurangkan sedikit waktu Ketua Pembangkang, saya tidak berhalangan. Akan tetapi saya tidak mahu ada alasan bahawa ucapan ini mengganggu perjalanan. Ini kerana kalau alasannya jam, waktu, saya lebih cenderung untuk mohon persetujuan Tuan Yang di-Pertua memberi kelulusan walaupun ini adalah bermakna memotong sedikit waktu Ketua Pembangkang.
Tuan Yang di-Pertua
Sebenarnya begini Yang Berhormat, sekiranya saya mengambil kira penjelasan Yang Berhormat yang menyatakan perkara ini juga termasuk di dalam Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong semalam, maka saya tak perlu membenarkan usul ini kerana boleh sahaja dibahaskan ketika perbahasan Titah Diraja tersebut. Akan tetapi, saya bersetuju benda ini perlu dirundingkan secara khas dan spesifik. Itu pertama.
Keduanya, saya akan mempengerusikan Kamar Khas pada waktu itu. Jadi, saya tidak boleh berada di sini. Jadi, oleh sebab itu saya dorongkan perkara ini ke Kamar Khas Yang Berhormat.
Tuan Mohamad bin Sabu - Kota Raja
Tuan Yang di-Pertua.
Tuan Yang di-Pertua
Yang Berhormat.
Tuan Mohamad bin Sabu - Kota Raja
Isu 1MDB ini skandal rasuah terbesar dalam dunia.
[Tepuk] Kenapa Parlimen Malaysia tak pertimbangkan untuk bincang secara umum? Ini sekarang bongkar satu-satu yang kita rasa rasuah terbesar dalam dunia.
Seorang Ahli
[Bercakap tanpa menggunakan pembesar suara] Betul!
Tuan Mohamad bin Sabu - Kota Raja
Ini yang berlaku di Malaysia. Kenapa Ahli-ahli Parlimen tidak dibenarkan untuk membincangkan perkara ini yang cukup besar, skandal kewangan dalam dunia ini dibuat oleh Malaysia?
Tuan Yang di-Pertua
Faham Yang Berhormat. Sebenarnya, ini adalah spesifik mengenai Bank Negara Malaysia itu, pembongkaran yang terbaru. Mengenai 1MDB itu, semua kita pun tahulah terdapat kes-kes di mahkamah yang still pending. Jadi, ia prinsip sub judice itu terpakai. Jadi, kita terpaksalah mengikut prinsip-prinsip yang sedia ada dan apa yang Peraturan-peraturan Mesyuarat Majlis tentukan.
Tuan Mohamad bin Sabu - Kota Raja
Ini soal maruah wanita Tuan Yang di- Pertua. Wanita Malaysia sudah terkena sekarang di peringkat antarabangsa. Boleh beli banglo RM40 juta. Ini semua benda kita kena bincang, kehebatan wanita Malaysia sekarang.
[Dewan riuh]
Tuan Yang di-Pertua
Wanita memang hebat sebelum ini pun Yang Berhormat.
Saya setuju. Jadi, begitulah ruling saya. Terima kasih. Silakan Tuan Setiausaha.
Timbalan Menteri Dalam Negeri I - Dato’ Sri Dr. Haji Ismail bin Haji Mohamed Said
Tuan Yang di-Pertua, saya mohon mencadangkan:
“Bahawa Majlis ini memerintahkan Ketua Polis Negara menjaga supaya selama Penggal Dewan Rakyat yang ada sekarang, jalan-jalan melalui lorong-lorong menuju ke Dewan ini hendaklah sentiasa terbuka dan boleh dilalui dan jangan ada apa-apa halangan menghalang ahli-ahli hendak pergi dan balik dari Dewan ini, jangan berlaku apa-apa kacau-bilau di jalan-jalan menuju ke Dewan ini; dan supaya jangan ada huru-hara di Bangunan Dewan ini dan berhampiran dengan bangunan ini; dan Setiausaha Dewan Rakyat hendaklah menyampaikan perintah ini kepada Ketua Polis Negara yang tersebut itu.” Terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua
Terima kasih Yang Berhormat Timbalan Menteri. Ahli-ahli Yang Berhormat, ada yang menyokong?
Timbalan Menteri Sumber Manusia - Datuk Haji Awang bin Hashim
Saya menyokong.
Tuan Yang di-Pertua
Terima kasih Yang Berhormat. Ahli-ahli Yang Berhormat semua, masalahnya ialah usul Yang Berhormat Menteri Dalam Negeri yang telah dibacakan tadi hendaklah disetujukan.
Tuan Sivarasa Rasiah - Sungai Buloh
Tuan Yang di-Pertua, minta maaf.
Sebelum kita undi atas usul ini ataupun undi, saya hendak tanya sebab 2 Ogos tahun lepas, usul begini dilanggar oleh Ketua Polis Negara sendiri apabila polis menghalang puluhan Ahli Parlimen hadir di dalam pekarangan Parlimen dan hadir di dalam Dewan.
Saya ingin tahu daripada Yang Berhormat Timbalan Menteri atau mana-mana Menteri yang boleh bantu Dewan yang mulia ini, apakah tindakan yang telah diambil atas Ketua Polis Negara sebab melanggar usul yang diluluskan oleh Parlimen dulu?
[Tepuk]
Tuan Sivarasa Rasiah - Sungai Buloh
Kalau kita lulus usul, usul itu dilanggar depan muka kita. Tiada apa-apa tindakan yang diambil. Apakah guna kita lulus usul yang sama sekali lagi? Ini akan jadi usul atas kertas sahaja yang boleh dilanggar oleh pihak polis atau pihak penguat kuasa yang lain, bila-bila pun. Atas arahan sesiapa pun. Ini yang saya minta penjelasan sebelum kita putuskan usul ini. Terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua
Sebenarnya perkara ini telah pun dijawab pada masa yang lepas itu. Saya ingat. Akan tetapi, Yang Berhormat Timbalan Menteri ada jawapan?
Dato’ Sri Dr. Haji Ismail bin Haji Mohamed Said
Tuan Yang di-Pertua, saya tidak ada maklumat mengenai apa-apa tindakan yang telah dibawa. Cuma, kalau ada laporan yang telah...
Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau - Tuaran
Kita kena bayar RM3,000 satu orang.
Dato’ Sri Dr. Haji Ismail bin Haji Mohamed Said
Yang Berhormat, jika ada apa- apa laporan polis yang telah dibuat, saya akan mengambil tindakan untuk memberitahu Dewan yang mulia ini. Cuma, usul ini Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua adalah usul untuk bermula pada hari semalam sehingga habis sidang Dewan kali ini. Terima kasih.
Tuan Ahmad Fahmi bin Mohamed Fadzil - Lembah Pantai
Tuan Yang di- Pertua.
Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau - Tuaran
Polis sendiri halang kita orang.
Tuan Yang di-Pertua
Maaf ya. Ahli Yang Berhormat.
Tuan Ahmad Fahmi bin Mohamed Fadzil - Lembah Pantai
Tuan Yang di- Pertua.
Tuan Sim Tze Tzin - Bayan Baru
Tuan Yang di-Pertua, Bayan Baru.
Tuan Yang di-Pertua
Maaf, maaf.
Tuan Sim Tze Tzin - Bayan Baru
Maaf sedikit sahaja.
Tuan Yang di-Pertua
Cukup,cukup.
Tuan Sim Tze Tzin - Bayan Baru
Sedikit Tuan Yang di-Pertua.
Tuan Yang di-Pertua
Ahli-ahli Yang Berhormat masalahnya usul oleh Yang Berhormat Menteri Dalam Negeri antara yang dibacakan tadi hendaklah disetujukan.
[Usul dikemuka bagi diputuskan, dan disetujukan]
Tuan Yang di-Pertua
Yang Berhormat Kota Melaka, ya.
Tuan Khoo Poay Tiong - Kota Melaka
Tuan Yang di-Pertua, saya berdiri atas Peraturan Mesyuarat 83(2). Saya minta izin untuk membacakan peraturan tersebut.
Tuan Yang di-Pertua
Ya.
Tuan Khoo Poay Tiong - Kota Melaka
Peraturan Mesyuarat 83(2) yang berbunyi, “Sesebuah jawatankuasa pilihan berkuasa memanggil orang hadir di hadapannya atau meminta dikeluarkan surat-surat dan boleh mengeluarkan penyata kepada Majlis mengandungi fikiran dan pandangannya serta dengan butir-butir keterangan yang telah diberi di hadapannya”.
Tuan Yang di-Pertua, untuk makluman Tuan Yang di-Pertua, sebenarnya Jawatankuasa Pilihan Khas Agensi-agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri telah memutuskan ingin adakan satu mesyuarat pada 19 Januari 2022 untuk memanggil Ketua Pesuruhjaya SPR, Tan Sri Azam Baki datang ke mesyuarat kita untuk memberi penerangan berkaitan dengan isu pemilikan saham oleh beliau.
Akan tetapi, beliau enggan datang ke Parlimen menghadiri mesyuarat kita dengan memberikan alasan bahawa kita hanya memberikan surat jemputan bukannya sepina.
Akan tetapi, kalau kita lihat mengikut peraturan yang saya baca tadi iaitu peraturan mesyuarat dan juga seksyen 16 dan seksyen 17 Akta Majlis Parlimen Keistimewaan dan Kuasa 1952 memang Jawatankuasa Pilihan Khas ada hak untuk memanggil Tan Sri Azam Baki datang ke Parlimen memberi penjelasan.
Tuan Khoo Poay Tiong - Kota Melaka
Jadi, saya ingin meminta petua daripada Tuan Yang di-Pertua. Adakah Tuan Yang di-Pertua, bersetuju dengan kenyataan Tan Sri Azam Baki yang enggan datang menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas. Oleh sebab untuk makluman Tuan Yang di-Pertua, pada Disember 2020, Tan Sri Azam Baki pernah hadir di mesyuarat PAC.
Ya, dia datang.
Akan tetapi kenapa kali ini apabila melibatkan isu tentang pemilikan saham, beliau takut hendak datang. Ini adalah satu perbuatan yang menghina Parlimen.
[Tepuk] Kita harus mempertahankan kedaulatan undang-undang dan kita mesti jaga kedudukan Parlimen Malaysia ini. Saya minta petua daripada Tuan Yang di-Pertua.
Tuan Yang di-Pertua
Terima kasih Yang Berhormat Kota Melaka kerana membangkitkan persoalan yang amat penting begini. Saya telah mengikuti perkembangan perjalanan Jawatankuasa Pilihan Khas Agensi-agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri dan khususnya mengenai prosiding terhadap Tan Sri Azam Baki. Jadi, saya ada dan saya tahu sedikit fakta-fakta mengenainya.
Pertama, saya ingin terangkan bahawa saya tidak pernah masuk campur dengan perjalanan jawatankuasa-jawatankuasa apa pun di Parlimen, nombor satu. Bukan kuasa saya untuk memanggil sesiapa atau untuk menghalang sesiapa daripada dipanggil ataupun untuk memberitahu pengerusi jawatankuasa-jawatankuasa berkenaan apa yang patut dibuat atau apa yang tidak patut dibuat. Itu saya hendak bagi penerangan. Saya memang tidak langsung campur tangan dalam hal-hal jawatankuasa-jawatankuasa khas dan jawatankuasa-jawatankuasa yang lain. Standing committee. Nombor satu.
Kedua, mengenai perkara ini. Saya tahu bahawa Tan Sri Azam Baki telah dipanggil oleh jawatankuasa khas tersebut melalui sepucuk surat. Saya juga tahu bahawa Tan Sri Azam Baki telah memutuskan satu surat kepada Pengerusi Jawatankuasa Khas itu yang di mana di dalam surat tersebut Tan Sri Azam Baki telah membangkitkan beberapa isu perundangan.
Saya tidak mahu membincangkanlah merit atau demerit isu-isu yang dibangkitkan tersebut. Akan tetapi, saya juga tahu bahawa setelah menerima surat daripada Tan Sri Azam Baki di mana isu-isu perundangan itu dibangkitkan. Pengerusi— saya difahamkan bahawa pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas tersebut telah mengambil keputusan untuk meminta pandangan penasihat undang-undang mengenai isu-isu yang dibangkitkan oleh Tan Sri Azam Baki.
Saya kurang pasti sama ada nasihat perundangan itu telah diberikan atau tidak.
Akan tetapi, saya juga difahamkan bahawa Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas itu akan memanggil mesyuarat pada 15 hari bulan.
Setiausaha
*Yet to be decided.
[Bercakap tanpa menggunakan pembesar suara]*
Tuan Yang di-Pertua
Yet to be decided. Belum diputuskan tetapi saya dengar beliau akan memanggil mesyuarat untuk membincangkan perkara tersebut. Itu yang kedua.
Mengenai— saya juga terbaca apa yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Kota Melaka. Saya juga terbaca di dalam berita online di mana Tan Sri Azam Baki dipetik sebagai berkata beliau tidak disepina tetapi hanya dijemput. Ya. Saya kurang setuju.
Sebenarnya, saya amat tidak bersetuju dengan kenyataan tersebut sekiranya kenyataan itu dibuat oleh Tan Sri Azam Baki. Ini kerana beliau dipetik sebagai berkata. So, saya tidak tahulah sama ada beliau buat ke tidak buat.
Okey, baiklah. Alasan saya, kenapa saya tidak bersetuju dengan kenyataan tersebut ialah begini. Kalau kita lihat Peraturan Mesyuarat 83(2) dia— Peraturan Mesyuarat 83(2) tidak langsung menyebut bahawa seseorang itu perlu disepina. Sepina ini hanya di mahkamah.
Kalau kita ikut kaedah mahkamah, maka dia ada dua jenis sepina iaitu subpoena duces tecum di mana seseorang itu disepina untuk memberi keterangan dan satu lagi— maaf. Subpoena ad testificandum di mana seseorang itu disepina untuk memberi keterangan dan keduanya, subpoena duces tecum, di mana seseorang itu diperlukan hadir untuk membawa dokumen-dokumen.
Tuan Yang di-Pertua
Akan tetapi Peraturan Mesyuarat 83(2) tidak langsung mengatakan sepina. Dia kata memanggil. Maka, bila kita panggil ini bolehlah secara suratlah, maka surat itu boleh dinyatakan secara tegas ataupun secara lembut. Akan tetapi sekiranya surat itu daripada pengerusi itu adalah terang dan jelas bahawa seseorang itu dipanggil, dijemput atau dikehendaki hadir maka perlulah hadir kerana saya rasa Peraturan Mesyuarat 83(2) secara nyata menyatakan apabila dipanggil maka perlu hadir.
Namun demikian, Tan Sri Azam Baki telah mengutus surat untuk membangkitkan isu-isu perundangan yang Yang Berhormat Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas itu rasa perlu diambil nasihat undang-undang. Maka, beliau sendiri telah postponed— telah mengosongkan tarikh tersebut kerana nasihat undang-undang perlu diminta.
Tuan Yang di-Pertua
Jadi, saya rasa apabila tarikh itu dikosongkan, maka tidak timbullah masalah enggan datang atau tidak datang. Jadi, itu pendapat saya. Akan tetapi saya setuju dengan Yang Berhormat, panggil, sapina, dijemput, dikehendaki hadir semua serupalah sebab 83(2) ini ia menyebut memanggil.
Tuan Khoo Poay Tiong - Kota Melaka
Tuan Yang di-Pertua...
Tuan Ramkarpal Singh a/l Karpal Singh - Bukit Gelugor
Tuan Yang di-Pertua, boleh saya menimbulkan standing order? Point of Order 77(5). Ini adalah isu yang sama tetapi berkenaan dengan PAC.
Tuan Yang di-Pertua
Peraturan Mesyuarat 77(5)?
Tuan Ramkarpal Singh a/l Karpal Singh - Bukit Gelugor
Ya 77(5). Ini adalah berkenaan PAC atau Public Accounts Committee, di mana terdapat kuasa the committee dengan izin Tuan Yang di-Pertua, “The Committee shall have power to send for persons, papers and records, and to report from time-to-time”, adalah mirip dengan 83(2). So, it is identical. Jadi, kita sudah tahu dalam masa in the past bahawa banyak saksi telah pun diarahkan. Saya mengguna pakai perkataan ‘arah’, which means order oleh sebab itu adalah termaktub di dalam dengan izin Tuan Yang di-Pertua, *the Houses of Parliament
(Privileges and Powers) Act 1952, khususnya seksyen 16. Saya membaca petikan yang relevan dengan izin, “The House, and any committee which is duly authorized by an order of the House to send for persons, documents, or papers, may order any person to attend before the House or before such committee, and to produce any paper, book, record and*…” so on. Ini merupakan satu arahan, bukan satu jemputan Tuan Yang di-Pertua. Saya telah pun sedia maklum dengan pandangan Tuan Yang di-Pertua tadi tetapi if section 16 dengan izin Tuan Yang di-Pertua, sekiranya Dewan yang mulia ini tidak give effect kepada seksyen 16 tersebut dengan mengarahkan Tan Sri Azam Baki hadir. Then it is- this becomes a toothless tiger Parliament with the greatest of respect. Jadi, sekiranya saksi-saksi seperti yang telah pun diarahkan untuk hadir di hadapan PAC contohnya telah pun datang. Why is Tan Sri Azam Baki given the privileges? Why is he given preferential treatment compared to the other witnesses before the PAC for example? Jadi, itu adalah kita memohon satu perintah yang tegas daripada Tuan Yang di-Pertua sendiri.
We need to have a strong Yang di-Pertua. We need to have a firm decision. We cannot allow, kita tidak boleh membenarkan Tan Sri Azam mempermainkan Dewan ini.
He is saying that I have raised isu perundangan. Itu bukan di dalam mahkamah. Question sub judice tidak timbul. So, why are we allowing him to get away with it?
Tuan Yang di-Pertua, I urged Tuan Yang di-Pertua untuk membuat satu keputusan untuk mengarahkan Tan Sri Azam Baki hadir di Parlimen selaras dengan seksyen 16 tersebut. Itu akan menunjukkan bahawa Tuan Yang di-Pertua has the authority and mean business in this. Terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua
Terima kasih atas penjelasan. Sila Yang Berhormat Kota Melaka. Yang Berhormat Kota Melaka last.
Tuan Khoo Poay Tiong - Kota Melaka
Tuan Yang di-Pertua, seperti yang Tuan Yang di-Pertua kata...
Tuan Sivarasa Rasiah - Sungai Buloh
[Bangun]
Tuan Chan Foong Hin - Kota Kinabalu
Tuan Yang di-Pertua...
Tuan Yang di-Pertua
Siapa yang bercakap ini?
Tuan Chan Foong Hin - Kota Kinabalu
Tuan Yang di-Pertua.
Tuan Sivarasa Rasiah - Sungai Buloh
Tuan Yang di-Pertua ...
Tuan Yang di-Pertua
Last, last. Yang Berhormat Sungai Buloh.
Tuan Sivarasa Rasiah - Sungai Buloh
Okey, terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Saya setuju dengan Yang Berhormat Bukit Gelugor. Tuan Yang di-Pertua, saya hendak bagi petua yang jelas kepada Dewan dan kita perlu selesai precedent ini yang sekarang ini berlaku. So, kalau tidak sistem select committee kita akan – macam kira tidak ada gigi langsunglah.
Oleh sebab itu, walaupun saya faham Tuan Yang di-Pertua kata saya tidak mahu ganggu ataupun interfere dalam perjalanan apa-apa select committee khas atau tidak tetapi ini adalah point, satu prinsipal prinsip yang boleh dipakai secara umum dan perlu satu pendirian dan arahan daripada Tuan Yang di-Pertua.
Kedua, yang saya hendak bangkitkan di sini saya rujuk balik kepada surat daripada Tan Sri Azam Baki yang disebut oleh Tuan Yang di-Pertua. Tan Sri Azam Baki bukan sahaja bangkitkan isu surat dan sepina, isu itu tetapi juga membangkitkan satu lagi point yang ada implikasi yang sangat besar untuk sistem select committee kita iaitu Tuan Yang di-Pertua berkata dia tidak akan hadir ataupun dia enggan hadir ke prosiding itu sebab dia lihat prosiding itu cacat dari segi prinsip undang-undang sebab perkara yang disiasat oleh jawatankuasa khas itu tidak dirujuk oleh Dewan yang mulia ini kepada jawatankuasa.
Ini amat serius sebab Dewan ini sudah tubuhkan jawatankuasa itu bersama dengan beberapa buah jawatankuasa khas yang lain. Kita sudah beri setiap jawatankuasa mengikut cadangan daripada jawatankuasa pilihan dan setiap jawatankuasa diberi tugasan yang spesifik. So, contoh jawatankuasa ini diberi tanggungjawab dan bidang kuasa memantau semua agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri, very clear.
Tuan Yang di-Pertua
Habiskan, habiskan.
Tuan Sivarasa Rasiah - Sungai Buloh
So, kita tidak boleh kata sekarang setiap perkara ini mesti dirujuk oleh Dewan kepada jawatankuasa sebelum jawatankuasa boleh buat kerja mereka seperti yang mereka cuba buat sekarang. Jadi, ini pun kalau ini dibenarkan semua jawatankuasa lebih kurang macam 10 buah jawatankuasa yang kita sudah tubuhkan, jawatankuasa pilihan khas tidak boleh bergerak sebab setiap kali I mean ini akan melambatkan dan mengganggu dan akhirnya menghalang kerja mereka. Ini juga menghalang memorandum persefahaman yang kita ada, di mana kita sudah janji semua pihak sana dan sini untuk memperkuatkan Parlimen, bukan untuk melemahkan Parlimen.
Tuan Yang di-Pertua
Boleh saya jawab?
Tuan Sivarasa Rasiah - Sungai Buloh
Jadi, di sini saya lihat apa yang berlaku sekarang, kalau ini dijadikan precedent, ini diterima sebagai pendirian yang sah, ini akan melemahkan Parlimen. Jadi, saya minta Tuan Yang di-Pertua ini kena ambil pendirian yang lebih intervention sebab ini bukan ganggu dalam satu jawatankuasa, ia akan ada impak kepada semua berkenaan sistem kita, the whole. Terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua
Baik Yang Berhormat.
Tuan Chan Foong Hin - Kota Kinabalu
Tuan Yang di-Pertua, Tuan Yang di- Pertua last, last.
Tuan Khoo Poay Tiong - Kota Melaka
Tuan Yang di-Pertua, ringkas sahaja.
Dalam penjelasan Tuan Yang di-Pertua kata, Tuan Yang di-Pertua tidak setuju dengan...
Tuan Yang di-Pertua
Sebab sudah lama. Sebenarnya sebelum Yang Berhormat Kota Melaka bercakap, boleh saya kata sebenarnya point of order ini tidak ada perbahasan ya tetapi oleh kerana perkara ini penting, saya beri peluang, last. Tolong.
Tuan Khoo Poay Tiong - Kota Melaka
Okey, terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Tuan Yang di-Pertua, tadi penjelasan Tuan Yang di-Pertua mengatakan Tuan Yang di- Pertua bersetuju bahawa apa yang dinyatakan oleh Tan Sri Azam Baki itu Tuan Yang di- Pertua tidak setuju.
Kalau begitu, saya percaya 220 Ahli Parlimen akan menyokong Tuan Yang di- Pertua untuk mengambil tindakan terhadap Tan Sri Azam Baki yang enggan datang ke Parlimen.
Tuan Yang di-Pertua
Terima kasih. Okey...
Tuan Khoo Poay Tiong - Kota Melaka
Sebab Tuan Yang di-Pertua...
Tuan Yang di-Pertua
Yup.
Tuan Khoo Poay Tiong - Kota Melaka
Jawatankuasa Pilihan Khas sudah adakan banyak mesyuarat dan ramai penjawat awam berpangkat tinggi sudah tampil datang memberi penjelasan termasuk Menteri. Menteri Kesihatan ada tampil datang ke mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan tetapi kenapa Tan Sri Azam Baki tidak diberikan keistimewaan sedemikian? Siapa itu Azam Baki? Begitu berani enggan datang ke Parlimen Tuan Yang di-Pertua?
Tuan Yang di-Pertua, kita takut implikasinya selepas ini semua orang akan beri alasan tidak mahu datang ke Parlimen. Itu akan menjejaskan kedudukan Parlimen Tuan Yang di-Pertua.
Tuan Yang di-Pertua
Okey, all right.
Tuan Khoo Poay Tiong - Kota Melaka
Jadi, saya minta Tuan Yang di-Pertua, kita percaya Tuan Yang di-Pertua boleh jalankan tugas dengan baik. Kita mesti panggil Azam Baki datang ke Parlimen.
Tuan Yang di-Pertua
Okey.
Tuan Khoo Poay Tiong - Kota Melaka
Tiga alasan yang diberi dan salah satu daripadanya ialah berkaitan dengan peraturan mesyuarat.
Tuan Yang di-Pertua
Okey. Tolong jangan ulang.
Tuan Khoo Poay Tiong - Kota Melaka
Dia punya alasan dia kata peraturan mesyuarat tidak boleh panggil dia.
Tuan Yang di-Pertua
Okey Yang Berhormat Kota Melaka, cukup. Cukup ya.
Saya jawab. Last ya, last. Okey, 220 orang Members of Parliament kalau mereka menyokong saya dapat gaji RM1 juta sebulan, tidak semestinya saya boleh dapat gaji RM1 juta sebulan ya.
Masalahnya ialah kuasa dan punca kuasa. Ini juga menjawab Yang Berhormat Bukit Gelugor tadi ya. Okey, di manakah punca kuasa saya untuk memanggil seseorang itu hadir di hadapan Jawatankuasa Pilihan Khas? Tidak ada. Saya tidak ada kuasa.
Tuan Yang di-Pertua
Peraturan Mesyuarat 83(2) yang disebut oleh Yang Berhormat Kota Melaka dan juga yang disebut oleh Yang Berhormat Bukit Gelugor mengatakan bahawa, saya petik ya. “Sesebuah jawatankuasa pilihan berkuasa memanggil...” Jadi, kuasanya ialah jawatankuasa pilihan tersebut, bukan kuasa saya.
Jadi, kita perlu fahami dan ikuti apa yang diperuntukkan di dalam standing orders. Pertama, kuasa untuk memanggil bukan kuasa saya, kuasa jawatankuasa pilihan. Kedua, Tan Sri Azam Baki belum enggan untuk hadir, beliau mengutus surat untuk membangkitkan isu-isu perundangan dan mengambil kira isu-isu perundangan yang dibangkitkan di dalam surat tersebut, pengerusi telah mengosongkan tarikh. Jadi, tidak ada tarikh pun. Itu kesannya dalam undang-undang. Jadi, isu atau naratif bahawa Tan Sri
Tuan Yang di-Pertua
Azam Baki telah enggan untuk hadir tidak timbul. Mesyuarat tidak ada, telah dikosongkan tarikhnya. Tolong Yang Berhormat Kota Melaka, tidak mahu argue lagi, okey.
Ketiga preference. Tidak ada preference, tidak ada siapa yang memberi preference pun. Mesyuarat itu tidak jalan. Jadi, dia tidak hadirlah. Kalau jalan, barulah isu mengenai dia hadir atau tidak hadir, enggan atau tidak enggan akan timbul. Akan tetapi, mesyuarat tidak ada, telah dikosongkan.
Keempat, mengenai apa yang disarankan oleh rakan saya Yang Berhormat Sungai Buloh mengenai terms of reference itu. Sesuatu terma rujukan Jawatankuasa Pilihan Khas ini. Terma rujukan Jawatankuasa Pilihan Khas ini sejak dahulu lagi, bukan sekarang sahaja. Kerajaan yang lepas pun ialah sebegitu rupa.
Itu yang telah diluluskan oleh Dewan ini. Bukan diluluskan oleh saya ya.
Diluluskan oleh Dewan ketika Yang Berhormat Menteri membaca usul dan terma rujukannya kalau boleh saya ingatlah secara impromptu. Dia kata terma rujukan itu, jawatankuasa pilihan khas mempunyai kuasa untuk memanggil mesyuarat mengenai apa- apa perkara yang dirujuk oleh Dewan.
So pertamanya, perkara tersebut perlu dirujuk oleh Dewan dahulu, itu termanya yang telah diluluskan oleh Dewan. Keduanya, sekiranya tidak dirujuk oleh Dewan, dirujuk atau disetujui oleh Menteri. Itu dua dia punya terma rujukan yang telah diluluskan oleh Yang Berhormat semua. Bukan diluluskan oleh saya.
Sekiranya ini hendak dipinda, maka perlulah ada usul untuk pindaan. Bukan kuasa saya. Naratif bahawa saya ini orang yang paling berkuasa di dunia ini, tidak betul.
It is a lie. Maaf, satu pembohongan.
Tuan Khoo Poay Tiong - Kota Melaka
Tuan Yang di-Pertua, Tuan Yang di- Pertua.
Tuan Yang di-Pertua
Kemudian, walau bagaimanapun saya telah putuskan sebelum ini untuk– sekarang ini saya sedang mengaturkan satu tarikh untuk berjumpa dengan semua Pengerusi Jawatankuasa-jawatankuasa Pilihan Khas. Tarikh belum ditetapkan saya rasa untuk membincangkan terma rujukan. Insya-Allah apabila ada masa nanti, kalau semua pengerusi yang seramai 10 orang ini ada masa kelapangan dan saya sendiri, kita boleh sync-kan tarikh itu. Maka kita akan adakan pertemuan tersebut. Sedang diusahakan pun. Dari last week lagi kita sedang cari tarikh yang sesuai.
Tuan Khoo Poay Tiong - Kota Melaka
Tuan Yang di-Pertua.
Tuan Yang di-Pertua
Jadi, saya hendak tutup perkara ini sebab.
Tuan Khoo Poay Tiong - Kota Melaka
Tuan Yang di-Pertua, sedikit sahaja Tuan Yang di-Pertua.
Tuan Yang di-Pertua
Maaf, maaf.
Tuan Mohamed Hanipa bin Maidin - Sepang
Tuan Yang di-Pertua, Peraturan Mesyuarat 36(2).
Tuan Khoo Poay Tiong - Kota Melaka
Tuan Yang di-Pertua, sebenarnya mesyuarat sudah diadakan.
Tuan Yang di-Pertua
Maaf, maaf.
Tuan Khoo Poay Tiong - Kota Melaka
Kita sudah ada tarikh untuk mesyuarat tersebut iaitu 19 Januari.
Tuan Yang di-Pertua
Telah dikosongkan.
Tuan Khoo Poay Tiong - Kota Melaka
Akan tetapi, Tan Sri Azam Baki enggan hadir. Maka kita terpaksa tangguhkan mesyuarat tersebut.
[Pembesar suara dimatikan]
Tuan Yang di-Pertua
Yang Berhormat, Yang Berhormat, kita ini macam “kucing kejar ekor” ya. Pusing-pusing okey sampai dia nanti pening pengsan baru habis. So, sebelum kita semua pening dan pengsan, boleh saya berhentikan perkara ini. Tuan Setiausaha, boleh kita teruskan.
Tuan Mohamed Hanipa bin Maidin - Sepang
Tuan Yang di-Pertua, Peraturan Mesyuarat 36(2). Tuan Yang di-Pertua. Tuan Yang di-Pertua, Peraturan Mesyuarat 36(2).
Tuan Yang di-Pertua
36(2).
Tuan Mohamed Hanipa bin Maidin - Sepang
36(2). Okey, Tuan Yang di- Pertua. Tadi Tuan Yang di-Pertua telah mengatakan bahawa untuk isu 1MDB, Tuan Yang di-Pertua telah mengatakan sub judice. Peraturan Mesyuarat 36(2) berkaitan dengan sub judice. Pertamanya Tuan Yang di-Pertua, saya hendak katakan Tuan Yang di-Pertua kalau kita lihat Peraturan Mesyuarat 36(2), ia telah boleh dihalang perbincangan itu sebelum perbincangan bermula sebab perkataan dia katakan in the interest of justice. Bermakna yang saya faham, Tuan Yang di-Pertua kena benarkan selepas itu sekiranya Tuan Yang di-Pertua in the opinion of the Chair bahawa ia adalah menyentuh soal prejudis, barulah dihentikan ataupun diminta...
Tuan Yang di-Pertua
Tadi saya nyatakan...
Tuan Mohamed Hanipa bin Maidin - Sepang
Sekejap, sekejap. Let me finish first.
Tuan Yang di-Pertua
Tidak saya hendak tanya, saya hendak tanya.
Tuan Mohamed Hanipa bin Maidin - Sepang
Itu yang pertama. Keduanya Tuan Yang di-Pertua...
Tuan Yang di-Pertua
Ini mengenai perkara apa? Perkara Tan Sri Azam Baki.
Tuan Mohamed Hanipa bin Maidin - Sepang
Sub judice ini, Tuan Yang di- Pertua. I think with due respect, I think you made a wrong decision. Sekejap, Tuan Yang di-Pertua. Tuan Yang di-Pertua, itu yang pertama.
Keduanya Tuan Yang di-Pertua, sub judice ini telah ada keputusan mahkamah.
Kalau Tuan Yang di-Pertua mungkin seorang yang rajin membaca, Tuan Yang di-Pertua boleh baca keputusan dalam kes SYABAS vs Ahmad Lutfi Othman dan juga Puan Fahdah. Dalam kes itu, isu sub judice telah pun dibangkitkan. Saya harus – I have to declare my interest. Saya terlibat dalam kes itu bersama dengan Tommy Thomas dan juga peguam lain.
Tuan Yang di-Pertua
Besar itu, peguam.
Tuan Mohamed Hanipa bin Maidin - Sepang
Jadi, kes itu Tuan Yang di-Pertua, Tan Sri Dato' Mohamad Ariff bin Md Yusof iaitu bekas Yang di-Pertua mengatakan bahawa– telah memberikan satu definisi sub judice yang agak baik. Tuan Yang di-Pertua boleh baca dan that decision was affirmed. Duly affirmed by the Court of Appeal, walaupun tidak ada keputusan bertulis daripada Mahkamah Rayuan.
Jadi saya hendak katakan Tuan Yang di-Pertua, hanya kerana satu kes telah pun berada di mahkamah ia tidak dengan sendirinya adalah sub judice kecuali dalam perbincangan kita, kita menyentuh tentang merits tentang kes itu. Jadi Tuan Yang di- Pertua, saya merasakan bahawa Tuan Yang di-Pertua dalam kes 1MDB ini – lagi pun perbicaraan di Amerika. Kita bincang pun dalam bahasa Melayu. Mungkin hakim-hakim sana pun tidak faham.
Tuan Yang di-Pertua
Oh! Itu..
Tuan Mohamed Hanipa bin Maidin - Sepang
Jadi, Tuan Yang di-Pertua tidak perlu takutlah tentang bahawa – this sub judice ini.
Tuan Yang di-Pertua
Yang Berhormat, saya...
Tuan Mohamed Hanipa bin Maidin - Sepang
Sebenarnya, saya rasa sub judice kepada Yang Berhormat Pekan itu yang menyebabkan kita semua – kita rasa dia lebih kebal dekat Parlimen daripada orang lain. Sekian, terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua
Yang Berhormat, saya tidak kata kita tidak boleh bincang apa yang diperkatakan oleh saudara Tim Leissner kerana itu sub judice. Saya tidak kata
Tuan Yang di-Pertua
pun. Apa sub judicenya; mereka di Amerika kita di sini. Saya faham. Akan tetapi, saya tidak kata begitu pun.
Saya cuma kata mengenai kes 1MDB. Ada yang telah dibawa ke mahkamah dan ada yang telah dibicarakan setengah atau quarter, suku ya. Of course in the interest of justice, Kalau apa yang diperkatakan oleh kita di sini mungkin mempengaruhi apa yang akan terjadi di dalam kes tersebut maka sub judice terpakai. Itu yang saya kata.
Saya tidak kata yang dibicarakan Tim Leissner itu tidak boleh diperkatakan di sini kerana sub judice. Saya tidak kata pun. Terima kasih.
Tuan Khoo Poay Tiong - Kota Melaka
Jadi, Tuan Yang di-Pertua. Tuan Yang di-Pertua, peraturan...
Tuan Yang di-Pertua
Maaf, maaf. Sorry.
Tuan Khoo Poay Tiong - Kota Melaka
Peraturan Mesyuarat 100.
Tuan Yang di-Pertua
Cukup, cukup.
Tuan Khoo Poay Tiong - Kota Melaka
Peraturan Mesyuarat 100, Tuan Yang di-Pertua.
Tuan Yang di-Pertua
Tidak, tidak. Saya ingin mempersilakan Yang Berhormat Jempol untuk berucap selama 90 minit. Dipersilakan.
Tuan Khoo Poay Tiong - Kota Melaka
Tuan Yang di-Pertua, Peraturan Mesyuarat 100.
Tuan Yang di-Pertua
Maaf, maaf. Sorry lah.
Dato’ Haji Salim Sharif - Jempol
Bismillahi Rahmani Rahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam sejahtera, salam perpaduan, salam Keluarga Malaysia.
Sulam kan mesra satukan jiwa, Mohon keberkatan Yang Maha Esa, Awal bismillah pembuka bicara, Izinkan saya mula acara. Tuan Yang di-Pertua saya mohon untuk mencadangkan Usul Menjunjung kasih kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong kerana sudi berangkat untuk menyampaikan titah ucapan di Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen Keempat Belas semalam pada Isnin bersamaan 28 Februari 2022 dan usul saya adalah seperti berikut:
“Bahawa suatu ucapan yang tidak sepertinya dipersembahkan kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, demikian bunyinya; “ Ampun Tuanku, Patik, Yang di-Pertua dan ahli-ahli Dewan Rakyat Malaysia di dalam persidangan Parlimen memohon ampun mempersembahkan suatu ucapan yang ikhlas daripada majlis
Dato’ Haji Salim Sharif - Jempol
Dewan Rakyat mengucapkan berbanyak-banyak syukur dan menjunjung kasih titah ucapan Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong semasa membuka penggal ke Lima Parlimen Ke 14.” Raja dan rakyat berpisah tiada, dahulu kini dan selamanya, kasih baginda pada rakyatnya, damai makmurlah negara tercinta.
Dato’ Haji Salim Sharif - Jempol
Patik sentiasa mendoakan agar Tuanku Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong serta sekalian kerabat, dikurniakan kesihatan, dianugerahkan kekuatan dan dilimpahi rahmat yang berpanjangan untuk terus memayungi negara serta rakyat jelata menerusi pemerintahan yang adil, telus dan saksama.
Patik dan seluruh rakyat jelata amat bersyukur kerana dikurniakan seorang pemerintah yang berjiwa rakyat sepertimana yang telah diperlakukan oleh tuanku. Maka dengan itu, rakyat jelata tuanku yang terdiri pelbagai kaum serta agama dapat hidup dalam suasana aman, damai, makmur dan harmoni.
Tuan Yang di-Pertua, terlebih dahulu izinkan saya memanjatkan rasa kesyukuran ke hadrat Allah SWT dan merakamkan ucapan terima kasih kepada Majlis Backbenchers kerana telah memberi peluang kepada saya untuk melakukan sesuatu yang baharu dan ulung buat diri saya iaitu membawa Usul Menjunjung Kasih ke atas Titah Ucapan Diraja di dalam Dewan yang mulia ini.
Semalam, kita didepani sesi Pembukaan Parlimen Penggal Kelima Parlimen Keempat Belas telah berjalan dengan begitu lancar dan sempurna. Setinggi-tinggi tahniah saya ucapkan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan, sama ada secara langsung atau pun tidak langsung. Saya juga amat berharap agar segala saranan titah diraja baginda semalam dapat diterima baik oleh semua pihak dengan hati yang terbuka serta dapat difahami dengan sebaik-baiknya. Dengan itu, marilah kita bersama-sama berusaha dan berganding bahu untuk melakar kemajuan serta membawa Keluarga Malaysia ke arah yang lebih gemilang.
Institusi beraja merupakan salah satu daripada tradisi yang harus dipertahankan sebagai payung kestabilan dan keadilan sosial negara. Institusi beraja hendaklah dihormati dan dipatuhi segenap lapisan masyarakat di negara ini, tidak kiralah apa pandangan politik sekalipun, termasuk kaum, bangsa dan agama. Untuk umumnya mengetahui institusi beraja merupakan lanjutan daripada sistem pemerintahan yang telah wujud sekian lama. Ia merupakan suatu bentuk warisan peradaban yang berlandaskan konsep Raja Berperlembagaan menerusi cabang Parlimen, eksekutif dan juga kehakiman yang menjalankan tugas masing-masing dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong.
Tuan Yang di-Pertua, kecenderungan kita terhadap sistem politik yang bersifat feudal ini tidaklah merosakkan sama sekali. Hakikatnya, kecenderungan ini mampu untuk mendidik dan melahirkan masyarakat yang patuh kepada undang-undang. Menerusi sistem inilah kita berjaya meletakkan negara pada tahap yang begitu baik pada hari ini.
Justeru itu, ingin saya tegaskan di sini bahawa ilmu tentang kenegaraan yang berkaitan dengan kesedaran dan kepentingan untuk memelihara institusi beraja hendaklah terus diperkasakan kepada generasi yang akan datang menerusi sistem pendidikan negara. Selain daripada itu, rakyat juga harus sedar institusi beraja merupakan penerus tradisi daripada era Kesultanan Melayu yang memperjuangkan untuk dikekalkan dalam Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu selepas kegagalan Malayan Union.
Tuan Yang di-Pertua, sebagai pemimpin rakyat di bumi yang bertuah ini, saya menyeru agar kita bersama-sama memelihara institusi yang telah lama menjadi payung kepada negara dan rakyat yang berbilang bangsa serta kepelbagaian anutan agama.
Suka saya mengingatkan bahawa, “Jangan dirempuh pintu istana, jangan sampai cari busana raja”.
Dato’ Haji Salim Sharif - Jempol
Marilah kita mempertahankan dan memelihara institusi beraja, dengan darah serta keringat demi menjaga kestabilan negara, bangsa dan agama.
Tuan Yang di-Pertua, kita harus berlapang dada untuk menerima hakikatnya bahawa negara kita sedang berdepan dengan pelbagai cabaran getir akibat krisis kesihatan, ketidaktentuan ekonomi dan bencana alam. Kita juga perlu mengakui bahawa kewibawaan dan usaha berterusan yang dilakukan oleh kerajaan di bawah pimpinan Yang Amat Berhormat Bera terus melindungi kesejahteraan rakyat dan menjaga kemakmuran negara sememangnya tidak boleh kita sangkal dengan sewenang-wenangnya.
Bermula dengan perkenalan sasaran atau KPI 100 hari pertama pemerintah yang perlu dicapai oleh setiap kementerian, disusul pula dengan termeterainya Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik pada 13 September 2021 yang lalu untuk mengembalikan kestabilan politik negara.
Tindakan ini sudah tentulah merupakan satu langkah yang bijak dan tepat bagi membolehkan kita semua memberi tumpuan sepenuhnya terhadap usaha memerangi pandemik dan meletakkan negara pada asas pertumbuhan yang lebih kukuh. Segala keputusan yang dibuat, tidak lain tidak bukan adalah semata-mata untuk meletakkan kepentingan rakyat sentiasa berada di hadapan, menjadi keutamaan dan melebihi segala- galanya.
Tuan Yang di-Pertua, komitmen kerajaan pada hari ini jelas dapat dilihat apabila terus-menerus melakukan pelbagai inisiatif untuk memastikan kebajikan rakyat sentiasa mendapat pembelaan dan keadaan ekonomi negara dapat segera dipulihkan seperti sedia kala. Di kesempatan ini, saya merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Bera kerana telah berjaya mewujudkan kestabilan politik, sekali gus mempertahankan kedaulatan negara.
Sepertimana yang telah dititahkan oleh Tuanku, menerusi kestabilan politik inilah, tiga peristiwa penting negara iaitu pindaan Perlembagaan Persekutuan, Perjanjian Malaysia 1963, Rancangan Malaysia Kedua Belas dan Belanjawan 2022 telah berjaya diluluskan dengan sebulat suara tanpa sebarang pindaan pada tahun lalu. Tuan Yang di- Pertua, itulah antara cabaran yang perlu kita pikul dan telah berjaya dirungkai oleh Yang Amat Berhormat Bera selaku Perdana Menteri yang kesembilan, yang hanya dapat ditangani dengan semangat Keluarga Malaysia yang merentasi parti politik dan perbezaan ideologi politik.
Selain daripada itu, kebijaksanaan Yang Amat Berhormat Bera yang menyesuaikan penggunaan Bahasa Melayu dalam acara rasmi kerajaan semasa di luar negara cukup membanggakan dan menggambarkan perjuangan terhadap bangsa Melayu dan bahasa ibunda. Seharusnya kita patut berbangga, merasa bangga kerana dianugerahkan seorang Perdana Menteri yang membawa perubahan besar kepada perjuangan bangsa yang tidak pernah mampu dilakukan oleh mana-mana Perdana Menteri sebelum ini.
Tuan Yang di-Pertua, mengimbas kembali sejarah perjalanan negara untuk mengehadkan tempoh perkhidmatan seorang yang menjawat jawatan Perdana Menteri, seingat saya idea tersebut telah mula kedengaran sejak tahun 1990-an lagi. Malangnya, idea tersebut hanya terbingkai sebagai komoditi politik. Namun demikian, saya amat yakin di bawah kepimpinan Yang Amat Berhormat Bera, perkara itu akan dibawa ke Dewan ini dan bakal dilaksanakan tidak lama lagi. Sesungguhnya, undang-undang dapat mengekang kepada kuasa yang berlebihan, yang boleh menjurus kepada amalan rasuah dan dapat mengetengahkan figura baharu untuk menerajui negara.
Begitu juga dengan undang-undang antilompat parti yang perlu disegerakan supaya perkara yang tidak disenangi oleh rakyat tidak berulang lagi pada masa yang akan datang. Kestabilan politik yang bakal tercipta nanti hasil daripada undang-undang ini, akan membawa kebaikan kepada kerajaan dan pembangkang untuk memastikan semak dan imbang dapat berfungsi dengan baik.
Tuan Yang di-Pertua, dari sudut mengekalkan hubungan diplomasi di peringkat antarabangsa, ekoran perang tercetus antara Rusia dan Ukraine...
Tuan Yang di-Pertua
Yang Berhormat, pukul 1. Boleh sambung pukul 2.30 ya.
Dato’ Haji Salim Sharif - Jempol
Okey. Tadi panjang sangat.
Tuan Yang di-Pertua
Terima kasih Yang Berhormat Jempol. Sebelum saya berhentikan Mesyuarat pada tengah hari ini, saya ingin menyampaikan senarai pembahas yang boleh berbahas pada hari ini.
Yang Berhormat Jempol akan sambung pukul 2.30 petang hingga 3.50 petang.
Diikuti oleh Yang Berhormat Pasir Mas selaku penyokong, pukul 3.50 petang hingga 4.35 petang, 45 minit. Diikuti pula oleh Yang Berhormat Ketua Pembangkang Port Dickson dari sekitar pukul 4.35 petang hingga 6.05 petang, 90 minit ya.
Kemudian, beliau akan diikuti oleh Yang Berhormat Kuala Nerus, 12 minit, pukul 6.05 petang hingga 6.17 petang. Yang Berhormat Bagan selaku ketua parti, 20 minit, iaitu pukul 6.17 petang hingga 6.27 petang. Pukul 6.17 petang hingga 6.37 petang, maaf. Akhir sekali Yang Berhormat Sabak Bernam 12 minit, pukul 6.37 petang sehinggalah 6.49 petang. Cukup-cukup.
Saya rasa tidak sempat pun sebab saya boleh sambung hingga 15 minit sahaja.
Jadi terpaksalah kita berhenti semasa Yang Berhormat Bagan, ya. Oleh sebab masa telah pukul 1 petang, maka saya berhentikan Mesyuarat ini dan akan disambung pada pukul 2.30 petang. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, selamat tengah hari semua.
[Mesyuarat ditempohkan pada pukul 1.01 tengah hari]
[Mesyuarat disambung semula pada pukul 2.30 petang]
Tuan Yang di-Pertua
[Dato’ Ramli bin Dato’ Mohd Nor (Cameron Highlands) mempengerusikan
Mesyuarat] Dato’ Ramli bin Dato’ Mohd Nor - Cameron Highlands
Dipersilakan Yang Berhormat Jempol.
Dato’ Haji Salim Sharif - Jempol
Bismillahi Rahmani Rahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Saya menyambung semula perbahasan.
Apa yang disebutkan berhentinya saya pada teks tersebut ialah begitu juga dengan undang-undang anti lompat parti yang perlu disegerakan supaya perkara yang tidak disenangi oleh rakyat tidak perlu berulang lagi pada masa hadapan. Kestabilan politik yang bakal tercipta nanti hasil daripada undang-undang ini akan membawa kebaikan kepada kerajaan dan pembangkang untuk memastikan semak dan imbang dapat berfungsi dengan baik demi kepentingan rakyat dan juga negara. Bak kata pantun yang dititahkan oleh Tuanku semalam yang berbunyi...
*Gunung Kinabalu sama didaki, Sungai Pahang sama direnang, Jikalau semua bersatu hati, Kerja yang susah menjadi senang.
Busana tradisi kain bersulam, Warna jingga berawan larat, Cukuplah berpolitik siang dan malam, Fokuskan menjaga kepentingan rakyat.*
Dato’ Haji Salim Sharif - Jempol
Jadi, begitulah keadaan kita yang mana titah tuanku adalah jelas bahawa menjaga kepentingan rakyat ini adalah memberi keutamaan segala-galanya.
Tuan Yang di-Pertua, dari sudut mengekalkan hubungan diplomasi di peringkat antarabangsa pula ekoran perang tercetus antara Rusia dan Ukraine, Yang Amat Berhormat Bera telah menyatakan hasratnya supaya segala usaha ke arah penyelesaian secara aman menerusi dialog perlu dilipatgandakan. Oleh itu, Keluarga Malaysia hendaklah senada dan perlu terus menyokong usaha sedemikian demi menjaga kepentingan untuk mengekalkan keamanan, keselamatan serantau dan antarabangsa serta menggalakkan kemakmuran yang lebih luas.
Tuan Yang di-Pertua, umum mengetahui setelah pandemik COVID melanda dunia, tidak ada mana-mana negara yang terkecuali daripada mengalami kesan buruk ekonomi. Kesan kepada ekonomi negara kita amatlah besar. Antaranya ialah kejatuhan pasaran saham, penurunan Ringgit Malaysia dan penyusutan keluaran negara kasar.
Pandemik ini turut memberi kesan buruk terhadap beberapa sektor utama negara seperti sektor hiburan, peruncitan, pelancongan dan sebagainya serta mewujudkan kesan sosial yang amat dahsyat kepada sebilangan besar rakyat.
Dalam usaha untuk mengeluarkan negara daripada terus berdepan dengan kesuraman ekonomi, kerajaan pimpinan Yang Amat Berhormat Bera telah membentangkan belanjawan terbesar dalam sejarah negara dengan peruntukan sebanyak RM332.1 bilion iaitu meningkat sebanyak tiga peratus daripada belanjawan sebelumnya. Menerusi pembentangan Belanjawan 2022, kerajaan juga telah menganggarkan ekonomi negara akan mengalami pertumbuhan antara 5.5 peratus hingga 6.5 peratus. Perkara ini membuktikan bahawa kerajaan terus komited untuk melonjakkan ekonomi negara.
Tuan Yang di-Pertua, oleh sebab keperluan yang amat besar pada masa kini adalah untuk melindungi nyawa dan kehidupan rakyat, kerajaan telah memutuskan untuk memberi keutamaan kepada soal kebajikan, perlindungan sosial dan projek-projek berpaksikan rakyat berbanding projek mega baharu melalui Rancangan Malaysia Ke-12.
Melihat kepada perkembangan pasca pandemik untuk lima tahun yang akan datang, perkara ini sememangnya wajar dijadikan tumpuan corak perbelanjaan kerajaan dalam merangka strategi baharu untuk membina masa depan negara yang mampan. Hal ini juga adalah selaras dengan hasrat kerajaan untuk membina sebuah keluarga Malaysia yang kalis cabaran dan tidak terpinggir daripada menikmati sebarang pembangunan menjelang tahun 2025.
Pendekatan ini jelas menunjukkan kerajaan bersikap peka dan cakna akan kesan pandemik yang telah mengancam jutaan rakyat serta sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat sebelum membuat suatu keputusan atau dasar baharu.
Tuan Yang di-Pertua, perniagaan merupakan salah satu pekerjaan yang terpuji kerana sememangnya menjadi salah satu daripada sumber rezeki yang terbesar. Islam juga menggalakkan umatnya untuk mencari kesenangan hidup dan perniagaan merupakan salah satu daripada caranya.
Usaha kerajaan dalam membantu dan mempermudah perusahaan kecil dan sederhana (PKS) haruslah dipuji kerana ia benar-benar dapat dimanfaatkan oleh usahawan kecil khususnya yang terjejas akibat bencana banjir. Program SME Emergency Fund yang menawarkan pembiayaan sehingga RM100,000 dengan kadar keuntungan kosong peratus dan tempoh pembayaran balik adalah sehingga lima tahun berserta moratorium selama 12 bulan adalah amat bermakna bagi mereka yang memerlukan.
Selain daripada itu, seramai 15,000 usahawan mikro dan informal juga akan diberi bantuan geran sebanyak RM3,000 melibatkan kos berjumlah RM50 juta menerusi Skim Pembiayaan Informal dan Mikro (SPIM).
Di sini kita dapat melihat bahawa kerajaan benar-benar ikhlas untuk membantu para usahawan yang telah terjejas akibat banjir, lebih-lebih lagi dana kerajaan sebegini tidak perlu tapisan yang rumit seperti pihak swasta. Perkara ini amat bertepatan dengan
Dato’ Haji Salim Sharif - Jempol
hasrat kerajaan untuk mengurangkan kerenah birokrasi supaya usahawan yang terkesan dapat dibantu dengan kadar segera.
Dato’ Haji Salim Sharif - Jempol
Tuan Yang di-Pertua, menerusi RMKe-12, kerajaan mahu memacu Keluarga Malaysia ke arah negara maju dan berpendapatan tinggi serta kalis cabaran pada masa hadapan. Namun, pencapaian ini tidak bermakna jika masih ada golongan terpinggir daripada arus pembangunan. Sesungguhnya, isu kesusahan dan isu kemiskinan sangat dekat di hati saya. Saya sangat memahami setiap kesusahan dan kepayahan hidup rakyat di luar bandar.
Saya juga amat berharap agar kemiskinan tegar dapat dibasmi dengan kadar yang secepat mungkin. Maka dengan ini, kerajaan hendaklah berfokus sepenuhnya untuk membantu meningkatkan pendapatan penduduk di luar bandar menerusi apa kaedah sekali pun supaya matlamat kita untuk merapatkan jurang pendapatan dapat dijayakan dengan secepat mungkin.
Tuan Yang di-Pertua, pertamanya saya ingin mengucapkan terima kasih kepada kerajaan yang berjaya menstabilkan minyak sawit mentah (MSM) dan dijangka akan kekal tinggi pada paras harga sekitar RM5,000 hingga RM6,000 satu tan sepanjang tahun ini.
Untuk makluman, semalam sahaja harga tersebut telah mencecah RM7,450 satu tan yang mana menjadi berita gembira kepada peneroka FELDA, FELCRA dan pekebun kecil seluruh negara.
Walau bagaimanapun, bagi pekebun kecil yang mengusahakan tanaman komoditi getah, pendapatan mereka diibaratkan seperti “kais pagi makan pagi, kais petang makan petang”. Oleh itu, saya menyeru agar kerajaan meneliti semula cadangan yang pernah saya dan rakan-rakan utarakan sebelum ini iaitu meningkatkan harga lantai getah sekerap ataupun getah cup lump kepada RM3.50 sekilogram untuk membantu para pekebun kecil meningkatkan pendapatan mereka.
Sesungguhnya, nasib seramai 552,543 orang pekebun kecil memerlukan perhatian dan pembelaan daripada kerajaan kerana pendapatan mereka sangat mudah terjejas akibat ketidakstabilan harga komoditi tersebut.
Pada kesempatan ini, saya ingin berterima kasih kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri yang telah membangkitkan isu kawalan harga getah Malaysia bersama Indonesia dan Thailand iaitu menganggotai International Tripartite Rubber Council (ITRC).
Sehubungan dengan itu, saya amat berharap agar kawalan harga dari negara-negara anggota ITRC dapat menetapkan harga lantai yang menyebelahi nasib para pekebun kecil agar sumber pendapatan mereka dapat ditingkatkan. Usaha ini sekali gus dapat menjayakan hasrat kerajaan untuk mengurangkan jurang pendapatan antara masyarakat bandar dan juga luar bandar, Tuan Yang di-Pertua...
Dato’ Mohd Nizar bin Haji Zakaria - Parit
Tuan Yang di-Pertua. Terima kasih kepada Yang Berhormat Jempol yang telah pun membangkitkan tentang nilai bentuk pendapatan, khususnya kepada penoreh getah dan sebagainya. Saya ingin membangkitkan, apa pandangan daripada Yang Berhormat Jempol tentang petani-petani kita ataupun pesawah-pesawah kita yang ada dalam negara kita ini yang perlu juga untuk kita bela? Ini kerana kos, contohnya kos daripada segi racun, baja dan sebagainya semakin meningkat dan kadangkala ada sahaja bentuk-bentuk yang boleh untuk mengurangkan kos. Adakah boleh untuk kerajaan juga turut membantu, khususnya golongan petani ataupun pesawah-pesawah yang ada di dalam negara kita?
Dato' Haji Salim Sharif - Jempol
Terima kasih Yang Berhormat Parit. Jadi, saya amat bersetuju apa yang diperkatakan tadi, memang kita amat terkesan dengan harga bahan seperti racun dan sebagainya. Sudah pastilah kita mohon supaya kerajaan juga memikirkan subsidi untuk tanaman para pesawah padi, mereka yang terlibat dengan kebun sayur dan sebagainya agar bantuan ini dapat juga disalurkan kepada mereka.
Menyedari akan kesusahan dan beban yang terpaksa dipikul oleh rakyat ketika berdepan dengan pandemik COVID-19, kepimpinan sebelum ini telah pun memutuskan
Dato' Haji Salim Sharif - Jempol
untuk membenarkan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) oleh para pencarumnya menerusi kemudahan i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra.
Syukur alhamdulillah, ketiga-tiga kemudahan ini telah pun dimanfaatkan dengan sebaiknya dan banyak membantu meringankan keperitan yang ditanggung oleh rakyat untuk berdepan dengan suasana terburuk dalam kehidupan mereka. Bagi memudahkan pengeluaran i-Citra, setakat Oktober 2021, saya difahamkan seramai 4.98 juta orang telah membuat permohonan yang melibatkan amaun berjumlah RM20.5 bilion.
Walaupun sebelum ini sekitar RM19.5 bilion telah dikeluarkan oleh 5.3 juta orang menerusi kemudahan i-Lestari dan sekitar RM53 bilion oleh 6 juta orang menerusi i-Sinar.
Angka-angka yang saya sebutkan sebentar tadi, jelas menunjukkan bahawa sememangnya terdapat keperluan yang mendesak oleh sebilangan rakyat Malaysia untuk menggunakan sebahagian wang persaraan mereka bagi tujuan survival dan untuk meneruskan kelangsungan hidup.
Oleh yang demikian, saya berpendapat sudah tiba masanya untuk kerajaan mengkaji semula tuntutan yang telah dibuat oleh rakyat iaitu membenarkan pengeluaran buat kali terakhir secara bersasar kepada mereka yang memerlukan, bergantung kepada jumlah simpanan. Sebelum ini, i-Lestari, i-Sinar, i-Citra memberi makna kepada Keluarga Malaysia serta bersesuaian dengan namanya. Maka dengan ini, saya mencadangkan agar kerajaan memperkenalkan i-Ceria bagi kemudahan pengeluaran wang KWSP untuk kali yang terakhir.
Memandangkan ekonomi negara sudah mula menunjukkan perkembangan yang positif, kemasukan pesakit kritikal COVID-19 ke hospital telah pun berkurangan dan jaminan sambutan Aidilfitri pada tahun ini juga telah diberi oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri. Maka, kemudahan i-Ceria ini bakal memberikan makna tersendiri buat Keluarga Malaysia. Saya doakan moga cetusan rasa, keluh resah rakyat dapat didengari oleh kepimpinan negara, semoga doa tuan-tuan di luar sana diluluskan dan dimakbulkan Allah SWT.
Tuntutan ini bukan menidakkan kebimbangan kerajaan terhadap simpanan hari tua. Tuntutan saya ini juga bukanlah untuk menafikan fakta mengenai 20 peratus daripada pencarum KWSP tidak mempunyai simpanan yang cukup pada hari tua. Akan tetapi tuntutan saya pada hari ini adalah semata-mata untuk memastikan permintaan Keluarga Malaysia dipenuhi, khususnya buat mereka yang masih bergelut dengan kesusahan akibat pandemik COVID-19.
Ditambah pula musibah banjir yang telah berlaku baru-baru ini, sudah tentulah merencatkan perjalanan mereka yang baharu sahaja memulakan fasa kehidupan yang baharu. Keadaan mereka ini sudah tentulah menjadi semakin parah, bagaikan “sudah jatuh ditimpa tangga”.
Sebagai sebuah kerajaan yang sentiasa memahami denyut nadi rakyat dan sentiasa mendengar setiap keluh resah isi hati rakyat, saya merayu bagi pihak mereka di dalam Dewan yang mulia ini supaya kemudahan i-Ceria dapat diluluskan, agar senyuman dapat terukir kembalikan wajah Keluarga Malaysia. Tuan Yang di-Pertua, bermula 18 Mac 2020 yang lalu, penutupan sempadan telah dilakukan oleh kerajaan bagi mengekang penyebaran wabak tersebut di dalam negara iaitu dua bulan selepas negara merekodkan pertama penularan COVID-19.
Dato' Haji Salim Sharif - Jempol
Bermulalah dari saat itu semua sektor perniagaan terkait dengan industri pelancongan sama ada secara langsung ataupun tidak langsung, telah menanggung kerugian yang cukup besar. Malah, terdapat dalam kalangan mereka terpaksa menamatkan perniagaan ataupun menggulung tikar.
Sebelum muncul virus COVID-19 ini, pada setiap tahun sekurang-kurangnya 26 juta orang pelancong asing pastinya akan masuk ke negara ini dan membawa pulangan yang lumayan kepada rakyat tempatan terutamanya golongan terbabit dalam industri pelancongan.
Dato' Haji Salim Sharif - Jempol
Meskipun pada ketika ini pelancongan domestik telah dibenarkan beroperasi sepenuhnya, tetapi masih belum memadai untuk membantu sektor-sektor lain berkait rapat dengan bidang pelancongan seperti pengangkutan, perhotelan, agensi pelancongan dan peruncitan. Sepertimana yang telah dititahkan oleh tuanku, bagi mencapai matlamat pemulihan industri pelancongan dan bidang yang berkaitan dengannya secara holistik, tumpuan tidak boleh hanya diberikan pelancongan domestik sahaja.
Tuan Yang di-Pertua, sudah sampai masanya negara perlu mengorak langkah dan meneroka peluang untuk kembali menerima kunjungan serta kedatangan pelancong asing ke dalam negara. Baru-baru ini, sektor pelancongan dan yang berkaitan dengannya boleh diibaratkan telah mendapat suntikan baharu apabila Yang Amat Berhormat Bera berjaya mencapai persefahaman bersama Perdana Menteri Thailand semasa lawatan rasmi ke bumi Siam tersebut.
Kedua-dua kerajaan telah bersetuju mengaktifkan sijil vaksinasi dan melaksanakan integrasi aplikasi MySejahtera dan Morprom, Thailand punya ini.
MySejahtera kira Thailand lah, Morprom bagi memudahkan perjalanan rakyat dari kedua- dua belah negara. Isu berhubung pembukaan semula sempadan negara ini juga akan diselesaikan sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini.
Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) darat antara Malaysia dan Thailand amat penting bagi sektor pelancongan dan juga perdagangan dua hala di kawasan sempadan yang menyumbang kepada 50 peratus hasil dagangan termasuklah hubungan kekeluargaan yang terpisah sejak penutupan sempadan dilaksanakan. Walau bagaimanapun, pembukaan sempadan melalui jalan darat ini juga hendaklah diperluaskan dan melibatkan negara-negara lain seperti Indonesia, Singapura dan Brunei secara bersekali. Ini kerana ramai Keluarga Malaysia yang masih terkandas akibat penutupan sempadan ini.
Tuan Yang di-Pertua, tiada siapa yang pernah menjangkakan kemunculan virus COVID-19 boleh mengubah segala-galanya. Ada yang kehilangan keluarga tersayang, ada yang kehilangan kerjaya dan ada juga yang kehilangan segala-galanya. Tarikh 25 Januari 2020 merupakan titik hitam buat sejarah negara yang tidak boleh dilupakan apabila kes pertama jangkitan dilaporkan.
Kini, setakat 28 Februari 2022, angka keseluruhan telah mencecah 3.3 juta jangkitan dengan 32,000 kematian dicatatkan. Di peringkat antarabangsa pula, 434 juta individu telah dijangkiti dengan 5.9 juta kematian direkodkan. Pada kesempatan ini, saya mengucapkan salam takziah kepada mereka yang telah kehilangan anggota keluarga akibat virus ini. Saya mendoakan Keluarga Malaysia yang telah kehilangan anggota keluarga, ibu, ayah, anak, adik-beradik dan sebagainya, diberikan kekuatan yang berpanjangan untuk terus menjalani kehidupan.
Sesungguhnya virus ini adalah musuh yang tidak boleh dilihat dan tidak boleh dikenal. Tidak boleh mengenal pangkat, darjat, usia, jantina, bangsa dan agama. Oleh itu, kerajaan Malaysia hendaklah sentiasa berhati-hati kerana kita sentiasa terdedah dengannya dan boleh dijangkiti pada bila-bila masa.
Tuan Yang di-Pertua, pada kesempatan ini, saya ingin mengucapkan setinggi- tinggi penghargaan dan terima kasih kepada para petugas barisan hadapan yang telah banyak berjasa dan sanggup mempertaruhkan nyawa dalam membantu negara untuk memerangi COVID-19.
Selain daripada itu, saya juga ingin berterima kasih kepada kerajaan atas kejayaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang telah berjaya mencapai liputan vaksinasi lengkap dewasa sehingga 98 peratus populasi dewasa. Kini, usaha tersebut telah mula menunjukkan hasilnya apabila hanya peratusan kecil sahaja individu yang dijangkiti virus mengalami gejala yang serius walaupun kes jangkitan mencatatkan peningkatan.
Namun begitu, perkara yang sentiasa menjadi kebimbangan saya ialah individu yang tidak mahu divaksin. Hal ini kerana menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr.
Noor Hisham Abdullah, individu yang tidak divaksin merupakan golongan yang paling berisiko dijangkiti Kategori 4 dan 5 serta berdepan dengan kematian.
Dato' Haji Salim Sharif - Jempol
Perkara kedua yang turut menjadi kebimbangan saya ialah keengganan rakyat untuk menerima dos penggalak (booster dose) dan memberikan vaksin kepada kanak- kanak dan anak-anak mereka menerusi Program Vaksinasi COVID-19 Kanak-kanak.
Berdasarkan pengamatan saya, keengganan dalam isu vaksinasi ini bertitik tolak daripada kandungan berita palsu yang terdapat dalam media sosial yang tersebar dengan meluasnya. Lebih membimbangkan, terdapat golongan anti vaksin yang sengaja memutarbelitkan fakta untuk menimbulkan keraguan kepada rakyat. Fakta ini pula perlu diberikan perhatian yang serius. Rakyat tidak perlu dimomokkan dengan perkara-perkara yang tidak benar. Kerajaan hendaklah proaktif dengan melaksanakan berbagai-bagai sesi libat urus dan menjawab segala isu yang tular dengan lebih efisien.
Tuan Yang di-Pertua, bermula pada hari ini, 1 Mac 2022, SOP kuarantin baharu telah dikuatkuasakan. Saya sedar tindakan tersebut merupakan salah satu proses untuk keluarga Malaysia melangkah ke fasa endemik dan menjalani kehidupan bersama virus.
Namun, masih banyak persoalan yang perlu dijelaskan dengan sebaiknya kepada rakyat berkenaan SOP baharu ini kerana umumnya mengetahui simptom atau gejala virus COVID-19 ini boleh bermula dari hari yang kelima sehingga hari yang ke-10.
Kebimbangan utama saya adalah terhadap individu yang tidak boleh divaksin atas faktor kesihatan dan kanak-kanak yang tidak boleh divaksin khususnya bayi. Saya ingin tahu dan saya tidak mahu dalam keadaan bergerak maju melangkah ke hadapan, ada di antara anggota Keluarga Malaysia yang terpaksa ditinggalkan.
Tuan Yang di-Pertua, umumnya mengetahui varian Omicron amat mudah merebak dan telah menyumbang kepada peningkatan bilangan kes harian kebelakangan ini.
Dato' Haji Salim Sharif - Jempol
Hal ini telah menuntut Keluarga Malaysia untuk kerap melakukan ujian saringan demi memelihara keselamatan bersama. Oleh itu, terima kasih saya ucapkan kepada kerajaan yang telah memberikan pelepasan one-off cukai persendirian untuk tahun percukaian 2021 sehingga RM1,000 ke atas pembelian kit ujian RTK dan PCR. Kadar ini, kadar harga untuk melakukan ujian PCR rata-ratanya berada dalam lingkungan RM150 hingga RM250.
Berikutan keperluan untuk melakukan ujian ini agak kerap, maka harga tersebut sudah pastilah membebankan rakyat dan pelepasan cukai tidak membawa makna yang cukup buat Keluarga Malaysia. Maka, saya fikirkan kerajaan harus campur tangan terhadap isu harga PCR yang dikenakan oleh klinik dan hospital swasta bagi mengatasi masalah ini.
Saya mencadangkan agar kerajaan menyediakan perkhidmatan ujian PCR secara percuma di premis kerajaan atau menyediakan subsidi kepada premis swasta. Jika perlu, subsidi bersasar juga perlu diperkenalkan kepada golongan yang layak berdasarkan pendapatan yang sudah disahkan. Selain itu, kerajaan juga mempertimbangkan untuk menetapkan harga siling bagi ujian PCR seperti kit ujian RTK di pasaran.
Kita tidak mahu klinik dan hospital swasta mengambil kesempatan dan mengaut keuntungan yang berlebihan di mana kita tahu bahawa setiap minggu ada sahaja keluarga yang terpaksa membawa anak dan sebagainya untuk ujian PCR. Jadi, saya berharap klinik swasta ini janganlah mengambil kesempatan “menangguk di air keruh”, sedangkan kita sudah berlaku dua tahun. Dua tahun pandemik kita telah pun berlaku. Maka mereka ini telah pun mencipta ribuan jutaan ringgit daripada hasil pandemik ini, jadi saya berharap.
Keadaan ini makin runcing apabila virus Omikron ini terlalu cepat merebak, maka rakyat yang berpendapatan rendah amat terkesan. Kalau hendak dibuat pemeriksaan ataupun PCR RM150 hingga RM250, berapa banyak kampit beras yang boleh diberi?
Berapa banyak susu anak mereka boleh dibeli? Maka orang kampung, orang di luar sana sentiasa dalam kesusahan. Jadi saya gesa, saya mahu bahawa kerajaan di bawah Kementerian Kesihatan juga melihat perkara ini.
Dato' Haji Salim Sharif - Jempol
Jangan biarkan pihak swasta ini terus mencipta keuntungan yang luar biasa. Jadi, diharap perkara ini menjadikan Keluarga Malaysia lebih aman dan makmur dengan subsidi ataupun kawalan kepada harga siling yang dikenakan oleh klinik-klinik swasta dan ia amat membebankan sama sekali. Jadi, apa yang saya harapkan supaya perkara ini mendapat pertimbangan kerajaan, sekali gus ia dapat membantu rakyat yang terkesan.
Tuan Yang di-Pertua, penutupan sektor pendidikan akibat pandemik COVID-19 telah memperlihatkan kepada kita tentang kelemahan yang perlu ditangani dengan segera bagi mengelakkan wujudnya generasi yang hilang atau lost generation. Generasi pewaris negara kita pada masa ini berada dalam keadaan suasana yang merunsingkan dengan keadaan masa hadapan mereka yang kelam.
Bagi laporan antarabangsa termasuk World Bank telah menyebut bahawa anak- anak kita sedang berhadapan dengan situasi tersebut. Sepertimana yang telah disarankan oleh kerajaan, agar Keluarga Malaysia mesti belajar untuk terus hidup bersama COVID-19. Oleh itu, sektor pendidikan negara sedang dipraktikkan kaedah pembelajaran secara norma baharu iaitu menerusi pembelajaran teradun atau blended learning. Tuan Yang di-Pertua, kaedah yang telah menuntut lebih 4.7 juta orang murid sekolah rendah dan menengah di seluruh negara untuk terus mendapatkan pendidikan menerusi kaedah pengajian Pembelajaran dan Pengajaran di Rumah (PdPR). Walau bagaimanapun, perkara ini menjadi kebimbangan saya, adalah mengenai masa hadapan seramai 1.85 juta murid yang bersamaan 37 peratus daripada jumlah keseluruhan murid tidak mempunyai sebarang peranti elektronik untuk menjayakan pembelajaran secara atas talian sepertimana yang telah didedahkan oleh mantan Ketua Pengarah Pelajaran iaitu, Datuk Dr. Habibah binti Abdul Rahim.
Dato’ Mohd Nizar bin Haji Zakaria - Parit
Tuan Yang di-Pertua, saya pun hendak bagi juga Yang Berhormat kita ini rehat sikit. Sebagaimana yang disebut oleh Yang Berhormat sebentar tadi, pendidikan ini sebenarnya teramat penting khususnya di dalam negara kita. Situasi pandemik ini sebenarnya memberi kesan kepada anak-anak kita yang sepatutnya mereka belajar secara bersemuka di kelas ataupun di sekolah dan akan memudahkan dalam bentuk pemahaman dan sebagainya.
Jadi, apakah sebenarnya yang akan dilakukan dalam bentuk persiapan khususnya kepada anak-anak kita di mana tempoh mereka belajar dalam bentuk PdPR yang mungkin ada kesan-kesan tertentu yang boleh dilakukan oleh kerajaan melalui Kementerian Pendidikan.
Oleh sebab jenjang yang agak lama apabila mereka tidak bersemuka itu, apakah yang perlu untuk kita lakukan? Memang kita jelas bahawa PdPR itu menjadi satu alternatif dan norma baharu kepada sistem pendidikan khususnya dalam negara kita tetapi dalam bentuk kajian. Ataupun apakah bentuk-bentuk kesan secara langsung dalam konteks usia atau umur, pertumbuhan dan juga perkembangan minda kita?
Jadi mungkin ada perkara-perkara yang boleh untuk pihak kementerian untuk melihat secara spesifik kesan daripada proses pembelajaran norma baharu ini dan secara langsungnya akan boleh dijadikan sebagai asas untuk bentuk-bentuk persiapan. Apa pandangan Yang Berhormat?
Dato' Haji Salim Sharif - Jempol
Ya, terima kasih sahabat saya Yang Berhormat Parit. Jadi saya amat setuju pandangan itu supaya ia dapat dimasukkan dalam ucapan saya dan saya harap kementerian juga dapat menjawab nanti.
Saya amat mengagumi kaedah yang digunakan oleh negara Finland, China dan Amerika untuk mengatasi isu ketiadaan peranti elektronik dalam keadaan murid iaitu dengan membenarkan murid meminjam peranti elektronik dari sekolah untuk mengakses pembelajaran atas talian dalam kediaman masing-masing. Menerusi kaedah pelaksanaan sebegini, kerajaan hanya perlu mengenal pasti bilangan murid yang tidak mempunyai sebarang peranti elektronik di setiap sekolah dan membekalkan secara terus.
Tuan Lukanisman bin Awang Sauni - Sibuti
Yang Berhormat Jempol, boleh mencelah sikit? Yang Berhormat, dari Sibuti.
Dato’ Ramli bin Dato' Mohd Nor - Cameron Highlands
Yang Berhormat Sibuti.
Dato' Haji Salim Sharif - Jempol
Sila, sila.
Tuan Lukanisman bin Awang Sauni - Sibuti
Terima kasih. Saya mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada keprihatinan Yang Berhormat Jempol kerana membangkitkan isu berkaitan tentang pendidikan dan juga kesan daripada pandemik yang hampir dua tahun banyak memberi kesan terutama sekali kepada pelajar-pelajar di luar bandar dan juga bukan hanya pelajar, tetapi guru-guru terkesan dari sudut peranti, dari sudut kesihatan mental.
Saya juga ingin bertanya kepada Yang Berhormat Jempol, adakah Yang Berhormat bersetuju bahawa Kementerian Pendidikan kena mengkaji semula kaedah pembelajaran dan juga kesan akibat COVID-19 ini kepada kesihatan mental terutama sekali kanak-kanak yang kembali ke sekolah berasa agak kekok setelah belajar melalui sistem PdPR dan juga kemiskinan digital terutama sekali di kawasan luar bandar dan juga pendalaman seperti Sabah dan Sarawak memberi kesan kepada kanak-kanak yang ketinggalan.
Begitu juga saya berharap agar kerajaan bersetuju dengan pandangan Yang Berhormat Jempol sebentar tadi berkenaan tentang mewujudkan skim pinjaman peranti- peranti dan juga memilih peranti yang berkualiti untuk dibekalkan kepada kanak-kanak dan juga pelajar. Saya juga mendapati program yang diperkenalkan oleh kerajaan untuk memberi peranti sebanyak 150,000 pada tahun lepas tidak berkesan dan tidak sampai kepada sekolah-sekolah yang benar-benar memerlukan peranti ini. Bagaimana pandangan Yang Berhormat Jempol?
Dato' Haji Salim Sharif - Jempol
Ya, saya amat bersetuju dengan pandangan Yang Berhormat Sibuti sebentar tadi yang mana kita perlu melihat perkara ini supaya murid-murid ini tidak ketinggalan khususnya di luar bandar. Jadi selain itu, teknologi peranti kita memerlukan guru yang berkualiti dan sebahagian pensyarah prasyarat yang terpenting.
Begitu juga dengan pengetua atau guru besar yang berkelayakan dan memimpin di peringkat kementerian yang faham akan situasi bertindak secara profesional. Walau bagaimanapun, usaha ini akan menjadi sia-sia sekiranya perkara yang lebih utama tidak diselesaikan terlebih dahulu iaitu pencapaian internet khususnya di luar bandar.
Kini negara sedang memasuki era baharu iaitu 5G tetapi dalam keadaan internet di luar bandar masih menyedihkan. Masalah pencapaian dan kelajuan internet di luar bandar sememangnya perlu diselesaikan dengan segera oleh kementerian. Perkara ini hendaklah diberikan perhatian serius oleh kerajaan agar matlamat Kerajaan Malaysia menjadi sebuah kerajaan berteknologi tinggi menjelang tahun 2025 dapat direalisasikan dengan jayanya.
Tuan Yang di-Pertua, fenomena banjir bukanlah satu perkara yang asing buat negara kita lebih-lebih lagi apabila tiba Monsun Timur Laut pada setiap tahun. Kebiasaan kawasan yang bakal terlibat telah pun dijangka lebih awal seperti negeri yang terletak di Pantai Timur.
Tuan Ahmad Fadhli bin Shaari - Pasir Mas
[Bangun]
Dato' Haji Salim Sharif - Jempol
Sila Yang Berhormat Pasir Mas.
Tuan Ahmad Fadhli bin Shaari - Pasir Mas
Terima kasih Yang Berhormat Jempol. Saya ingin bertanya Yang Berhormat Jempol, adakah bersetuju bahawa situasi banjir yang melanda ini adalah satu perkara yang kita tidak jangka? Untuk perkongsian, apa yang berlaku di Pasir Mas sehari dua ini adalah merupakan situasi yang sangat- sangat menyedihkan dan beberapa buah rumah telah pun tenggelam sepenuhnya dengan tidak dijangka-jangka. Ia seolah-olah mengulangi apa yang telah berlaku di Selangor dan beberapa situasi di Lembah Klang pada bulan Disember yang lepas.
Jadi saya ingin bertanya kepada Yang Berhormat Jempol, adakah kerajaan perlu untuk melihat situasi ini secara menyeluruh kerana tadi kita telah mendengar bagaimana
Tuan Ahmad Fadhli bin Shaari - Pasir Mas
dalam sesi soal jawab bahawa dalam isu climate change ini, ia akan dijangka berterusan, monsun ini akan berterusan sehingga ke bulan Ogos. Kita tahu bahawa dalam bulan Mac ini, bulan Februari dan Mac ini bukan bulan banjir, ini bukan bulan musim tengkujuh, ini musim kemarau.
Orang-orang kampung saya, mereka menanam jagung dan sayur-sayuran pada bulan Januari dan Februari kerana mengikut jangkaannya, inilah musim kemarau dan biasanya jagung akan ditanam tiga musim setahun dan sempat untuk menghadapi musim banjir pada bulan Disember atau bulan November. Akan tetapi pada kali ini, banjir datang dan menyebabkan banyak kerugian kepada hasil-hasil tanaman petani.
Jadi saya ingin bertanya Yang Berhormat Jempol, adakah perlu untuk kerajaan membuat review balik kepada dasar berhubung dengan climate change ini dan mengumumkan bantuan segera kepada para petani dan penduduk-penduduk yang telah pun menghadapi kerugian yang sangat-sangat besar ini bukan sekadar di negeri Kelantan tetapi di Terengganu, di beberapa buah lokasi di Pantai Timur ini dan juga lokasi-lokasi di seluruh Malaysia yang masih belum lagi pulih sepenuhnya daripada banjir. Terima kasih Yang Berhormat Jempol.
Dato' Haji Salim Sharif - Jempol
Ya, terima kasih Yang Berhormat Pasir Mas.
Saya amat bersetuju dengan pandangan tersebut kerana Yang Berhormat Pasir Mas biasa melalui proses banjir tidak kira waktunya. Inilah perkara yang perlu kita ambil tindakan agar rakyat yang berada di pantai timur khususnya. Hari ini banjir pun telah berlaku dan diharap dapat pembelaan kepada rakyat. Banjir besar yang melanda baru- baru ini juga di lapan buah negeri bermula pada 18 Disember telah meragut nyawa seramai 48 orang di mana seorang lagi mangsa masih belum ditemui sehingga hari ini.
Pengajaran daripada musibah ini menunjukkan bahawa pembangunan yang tidak terkawal, kekurangan pemuliharaan kawasan tadahan air, kelemahan dari sudut persediaan dan kesepakatan yang tidak jelas antara kerajaan negeri dan juga Kerajaan Pusat. Khususnya bagi negeri yang ditadbir oleh kerajaan yang tidak sealiran dengan Persekutuan adalah antara faktor yang perlu kita tangani.
Oleh itu, kerajaan hendaklah menggunakan pendekatan yang dinamik dan holistik terhadap pengurusan banjir secara profesional. Kerajaan negeri juga hendaklah sentiasa mengamalkan keterbukaan supaya semua perkara dan persediaan untuk menghadapi banjir atau sebarang bencana dapat diselaraskan dengan lebih berkesan.
Selain itu, pemerkasaan dan kesiapsiagaan terhadap rakyat juga perlu ditekankan. Sememangnya bencana ini datang tanpa diduga. Maka pengetahuan asas survival adalah amat mustahak untuk dipelajari oleh rakyat khususnya pada fasa awal tempoh bencana. Sistem kesukarelawan perlu dibangunkan dengan kadar segera bagi tujuan mengkoordinasi supaya bantuan dapat dilakukan dengan lebih menyeluruh dan berkesan. Besarlah harapan saya agar sistem kesukarelawan ini dapat diwujudkan di setiap negeri dan daerah khususnya dalam tempoh pasca banjir.
Tuan Yang di-Pertua, Majlis Pemulihan Negara yang berperanan dalam menjayakan Pelan Pemulihan Negara untuk memulihkan sektor ekonomi dan sosial akibat pandemik COVID-19 perlu dikaji semula agar dapat diperluaskan tema dan skopnya supaya dapat membantu Agensi Pengurusan Banjir Negara.
Hal ini kerana bencana banjir akan berlaku pada setiap tahun dan lebih membimbangkan apabila kawasan yang tidak pernah dinaiki air berpotensi untuk dilanda banjir sepertimana yang berlaku di Selangor serta berkemungkinan besar akan berulang lagi pada masa yang akan datang. Oleh itu, perkara ini perlu diperhalusi dan diteliti kerana kesannya amat besar kepada sektor ekonomi di dalam negara.
Seterusnya, kita juga perlu belajar daripada pengalaman negara maju yang telah terbukti cekap dalam menguruskan bencana seperti Jepun, Taiwan dan juga New Zealand. Selain bencana banjir, kita juga perlu memastikan Keluarga Malaysia sentiasa bersedia untuk kepelbagaian lagi bencana lain seperti tanah runtuh, tsunami, kemarau, taufan dan sebagainya.
Dato' Haji Salim Sharif - Jempol
Walau bagaimanapun, saya cukup terharu dan ingin berterima kasih kepada semua kakitangan awam, NGO dan orang ramai yang telah banyak membantu dalam tempoh pasca banjir tanpa mengira kaum dan warna kulit. Syabas, syabas dan tahniah, terima kasih saya ucapkan atas segala keprihatinan dan sikap tanggungjawab yang telah ditunjukkan. Semoga semangat Keluarga Malaysia ini akan terus terpahat dan tersemat di dalam hati nurani sanubari seluruh rakyat Malaysia.
Di kesempatan ini juga, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada kerajaan yang responsif dalam menyalurkan peruntukan seawal 28 Disember 2021 yang lalu dengan menilai keseluruhan bantuan kemudahan mangsa-mangsa banjir yang berjumlah RM1.4 bilion secara terus dan mungkin akan mencecah sebanyak RM2 bilion.
Merujuk kepada kejadian banjir yang berlaku kelmarin di Kelantan dan Terengganu jelas bahawa bencana alam boleh berlaku pada bila-bila masa. Harapan saya agar Keluarga Malaysia yang terkesan di sana dapat diberi perhatian dan bantuan yang secukupnya dari kerajaan.
Tuan Yang di-Pertua...
Dato' Mohd Nizar bin Haji Zakaria - Parit
[Bangun]
Dato' Haji Salim Sharif - Jempol
Sila Yang Berhormat Parit.
Dato' Mohd Nizar bin Haji Zakaria - Parit
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua dan Yang Berhormat Jempol. Bila kita berbicara tentang banjir dalam senario atau tempoh-tempoh ini memang agak mencemaskan kita.
Dato' Mohd Nizar bin Haji Zakaria - Parit
Kerajaan perlu berkolaborasi secara bersama dan kita tidak mahu apabila banjir berlaku kemalangan dan sebagainya, termasuklah kepantasan-kepantasan untuk bertindak. Setiap agensi yang ada itu mestilah peka untuk melihat keadaan dan kita juga boleh dapat mengetahui sedikit sebanyak di manakah lokasi-lokasi tersebut dalam bentuk penyelamatan dan sebagainya.
Cumanya saya ingin minta pandangan daripada Yang Berhormat, apakah bentuk- bentuk peralatan kita dalam kaedah untuk kita menyelamat? Biasanya kalau banjir, kita menggunakan bot daripada bomba dan sebagainya. Apakah perlu dalam tempoh-tempoh banjir ini, dalam kadar yang cukup segera khususnya, helikopter untuk kita manfaatkan bukan hanya untuk menyelamat tetapi pada masa yang sama untuk kita menghantar keperluan-keperluan makanan khususnya di kawasan-kawasan yang agak sukar untuk dilalui oleh kenderaan-kenderaan darat ini? Terima kasih.
Tuan Karupaiya a/l Mutusami - Padang Serai
Yang Berhormat Jempol, Padang Serai. Terima kasih Yang Berhormat Jempol. Saya tertarik dengan penjelasan- penjelasan berkaitan dengan banjir. Saya rasa juga kerajaan harus ambil persiapan dari awal sebelum banjir bukan selepas banjir baru hendak buat persiapan, hendak menuduh satu sama lain.
Kebanyakan kerajaan – agensi-agensi ini menuduh satu sama lain apabila ada sesuatu kejadian. Perlu dielakkan dan mereka perlu duduk dalam satu meja dan bincang dan mesti mengatasi dengan segera. Pada masa yang sama juga, banyak projek yang dilakukan oleh di tempatan – projek-projek ini tidak dikawal, projek-projek ini tidak diperhati dengan serius.
Mereka buat projek suka hati selepas itu longkang, jalan tidak diendahkan. Ini menjadi satu masalah. Seharusnya kerajaan perlu mengambil tindakan segera dan siap sedia daripada sekarang untuk membesarkan, melebarkan sungai-sungai dan parit-parit yang ada di sekitarnya. Terima kasih Yang Berhormat Jempol.
Dato’ Haji Salim Sharif - Jempol
Ya, terima kasih. Banyak perkara yang menjadi pengalaman yang lalu dan saya ambil kira perkara itu supaya ia sama-sama kita berganding bahu untuk menyelesaikan ataupun tindakan kita dalam suasana banjir yang berlaku. Silakan, Yang Berhormat Rompin.
Dato’ Sri Hasan bin Arifin - Rompin
Salah satu sebab banjir yang kita lihat bahawa Tuan Yang di-Pertua, catchment area yang semakin berkurangan dalam negara
Dato’ Sri Hasan bin Arifin - Rompin
kita ini. Ini satu benda yang sangat kita perlu perhatikan, iaitu kawasan hutan. Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dalam titah ucapannya menyatakan bahawa baginda mahu 50 persen daripada keluasan negara kita ini mestilah ditanam dengan hutan. Kita minta kerajaan bersungguh-sungguh dalam perkara ini. Bagi negeri-negeri yang menyimpan hutan ini yang hasilnya tidak dapat dikeluarkan, Kerajaan Persekutuan harus membayar pampasan umpamanya negeri Pahang ini mengorbankan keluasan hutan yang begitu besar.
Jadi, Kerajaan Persekutuan harus menilai dan membayar sekali gus nilai hutan itu, barulah kerajaan-kerajaan negeri mempunyai kecenderungan dan tidak akan membuka hutan. Ini adalah kerana hutan-hutan mereka dibayar dengan pampasan yang sewajarnya oleh Kerajaan Persekutuan. Negeri-negeri seperti Pahang, Perak, jajaran Titiwangsanya adalah sangat penting di mana hutan tidak harus diusik sama sekali. Begitu juga di Sabah dan Sarawak harus mengekalkan kuota perhutanan.
Kerajaan-kerajaan negeri harus lebih tegas dalam melaksanakan Dasar Perhutanan Negara. Saya rasa sampai masanya sekarang Akta Perhutanan Negara harus dipinda semula, harus dilihat berdasarkan kepada kepentingan semasa. Sudah agak lama Akta Perhutanan Negara ini tidak dipinda. Jadi saya minta kementerian yang berkenaan mengkaji semula dan sangat timing, sangat tepat pada masanya Dasar Perhutanan Negara, Akta Perhutanan Negara harus dipinda semula bersesuaian dengan climate changes now. Iklim sudah berubah dan strategi kita mesti berubah berdasarkan kepada kepentingan negara kita.
Saya menyokonglah apa yang dikatakan oleh Yang Berhormat Jempol tadi.
Dato’ Haji Salim Sharif - Jempol
Terima kasih Yang Berhormat Rompin. Jadi segala apa yang diutarakan oleh Yang Berhormat Rompin sebentar tadi memang keadaan ini perlu pemeliharaan hutan di mana hutan ini adalah aset negara yang perlu kita jaga bersama agar bencana yang lebih buruk tidak berlaku. Ia melibatkan semua kerajaan negeri dan juga kementerian supaya duduk semeja memikirkan perkara yang terbaik supaya perkara-perkara yang disebutkan tadi tidak berulang kembali pada masa-masa yang akan datang.
Datuk Zakaria bin Mohd. Edris @ Tubau - Libaran
Yang Berhormat Jempol.
Dato’ Haji Salim Sharif - Jempol
Sila.
Datuk Zakaria bin Mohd. Edris @ Tubau - Libaran
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Saya ingin menyatakan bahawa banjir ini memang keseluruhan. Bukan sahaja di Semenanjung Malaysia, Pantai Timur tetapi juga melibatkan Sabah dan Sarawak. Saya bercakap hari ini mengenai dengan Sabah di mana baru-baru ini pun, memang banyak tempat yang dilanda banjir bila hujan lebat dan melibatkan banjir ini ialah merosakkan segala harta benda, tanaman dan sebagainya. Persoalan di sini ialah kerajaan harus memikirkan bahawa rakyat dalam keadaan susah begini, harus dibantu, harus kita memikirkan macam mana kita untuk selamatkan rakyat, untuk bagi bantuan kepada rakyat.
Di kawasan saya umpamanya, di Kampung Memanjang terlibat juga dengan banjir. Apabila hujan lebat, bukan hanya tahun ini tetapi tahun-tahun yang lalu boleh dikatakan setiap tahun. Akan tetapi masalahnya ramai yang terlibat dengan banjir ini.
Pertama sekali, bantuan kepada yang terlibat. Mereka tidak cukup bantuan daripada kerajaan. Hanya baru-baru ini yang mendapat bantuan daripada kerajaan negeri di mana ramai lagi yang terlibat dengan banjir ini ialah satu, penempatan mereka, PPS. Tempat, memang tidak ada tempat. Kita sudah memohon supaya penempatan ini akan kerajaan sediakan seperti balai raya dan sebagainya.
Saya mohon di sini, Kampung Memanjang ini merupakan satu kampung yang ramai masyarakat dan satu-satunya harus diselesaikan ialah tebatan banjir di sini. Saya mohon kepada kerajaan supaya dapat mengambil tindakan, dapat menyelesaikan masalah ini yang bertahun-tahun lamanya. Kalau kita tidak ambil tindakan pada hari ini, kalau bukan kerajaan pada hari ini, siapa lagi? Ini harus saya mohon supaya rakyat yang terlibat dengan banjir ini mendapat pembelaan sepenuhnya daripada kerajaan. Terima kasih.
Dato’ Mohd Nizar bin Haji Zakaria - Parit
Tuan Yang di-Pertua.
Dato’ Haji Salim Sharif - Jempol
Sila, sila.
Dato’ Mohd Nizar bin Haji Zakaria - Parit
Bila kita cerita tentang banjir, memang memerlukan kepada bantuan dan juga pertolongan. Jadi kalau kita lihat bila berlaku sesuatu banjir ini, kerajaan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat khususnya, biasanya akan menempatkan bagi mereka yang terkena musibah banjir ini di penempatan ataupun Pusat Penempatan Sementara (PPS).
Dato’ Mohd Nizar bin Haji Zakaria - Parit
Namun, ada keluhan daripada masyarakat yang mana mereka tidak berpindah.
Apabila mereka tidak berpindah, maka keperluan-keperluan bantuan itu mungkin ada kata orang tidak dapat dan sebagainya. Jadi dalam kesempatan ini, Yang Berhormat Jempol, apakah pandangan yang boleh kita berikan kepada kerajaan supaya ada insentif-insentif tertentu bagi mereka yang tidak berpindah tetapi bila kita melihat keadaan situasi rumah mereka, keadaan mereka juga boleh untuk pihak kerajaan membantu mereka ini? Ini disebabkan, ada kes-kes tertentu contohnya di tempat saya sendiri, memang kawasan itu adalah kawasan dikatakan sebagai banjir air termenung beberapa hari tetapi mereka tidak berpindah ke PPS, bantuan tidak dapat untuk diberikan.
Jadi mungkin boleh dalam pertimbangan kepada kerajaan untuk memikirkan kaedah-kaedah tertentu bagi mereka yang berada di PPS, termasuklah juga yang mana jika kita melihat dalam bentuk secara jelasnya mereka juga ditenggelami oleh air, banjir dan sebagainya boleh juga menerima bantuan daripada kerajaan ini. Terima kasih.
Dato’ Sri Hasan bin Arifin - Rompin
Tuan Yang di-Pertua, saya tertarik poin yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Libaran tadi bahawa kalau kita mengambil contoh di negeri Pahang, hasil daripada banjir besar negeri Pahang pada tahun 1971, kerajaan negeri membuat satu polisi yang cukup menarik iaitu dipanggil penempatan perumahan banjir sehingga di Pahang, dikenali sebagai ‘rumah banjir’. Di mana kerajaan negeri telah memindahkan mangsa-mangsa banjir ke satu penempatan yang lebih terancang dengan sistem yang lebih baik.
Rumahnya lebih bagus, infrastrukturnya lebih baik dan rancangan ini sangat berkesan dan sangat baik. Diberikan juga dengan sumber ekonomi sedikit sebanyak dan ini adalah satu pendekatan yang secara permanently dengan izin, untuk memindahkan mangsa-mangsa banjir ke satu penempatan yang lebih terancang dan lebih baik kepada mangsa-mangsa banjir. Saya cadangkan kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan mengambil pendekatan ini. Jadi tak payahlah setiap tahun kita membelanjakan berpuluh- puluh, beratus-ratus juta wang bila berlakunya banjir kerana memindahkan mangsa- mangsa banjir.
Tuan Lukanisman bin Awang Sauni - Sibuti
Sikit, Tuan Yang di-Pertua.
Tuan Yang di-Pertua
Ya.
Dato’ Haji Salim Sharif - Jempol
Okey, sila Yang Berhormat Sibuti.
Tuan Lukanisman bin Awang Sauni - Sibuti
Saya bersetuju dengan pandangan Yang Berhormat Libaran berkenaan tentang apabila berlakunya banjir, kita sebagai sebuah kerajaan, banyak berbelanja untuk bayaran ganti rugi, untuk bantuan- bantuan dan juga sebagai wakil rakyat pun kita kadang-kadang terpaksa bersiap sedia untuk reserve ataupun menyimpan sedikit peruntukan untuk diagihkan ketika musim dan ini menjadi trend ataupun budaya. Apakah langkah kerajaan untuk menjadikan budaya ini sebagai satu budaya yang perlu dimansuhkan?
Katakan kalau banjir berlaku, kita berbelanja beratus juta ringgit, berpuluh juta ringgit sedangkan jutaan ringgit ini dapat untuk menyelesaikan masalah banjir di sesebuah daerah ataupun di sesebuah Parlimen. Saya berharap agar kerajaan dapat memulakan satu inisiatif bagi memikirkan apakah langkah-langkah ke hadapan untuk menyelesaikan masalah banjir pada masa hadapan.
Dato’ Haji Salim Sharif - Jempol
Ya, terima kasih. Segala permasalahan tadi telah pun dibangkitkan dengan begitu banyak masalah di kawasan-kawasan contohnya di
Dato’ Haji Salim Sharif - Jempol
Pahang, di Sarawak dan juga di Sabah. Perkara ini perlu diperhalusi secara bijaksana oleh kerajaan di mana susun atur ataupun tindakan yang perlu dilakukan perlulah ia berada dalam keadaan yang siap siaga. Kelemahan yang berlaku seperti yang disebutkan tadi, saya amat setuju supaya kita boleh fine-tune semula ataupun dikemaskinikan permasalahan yang berlaku agar banjir ini – bencana ini akan datang. Setiap tahun akan datang tetapi apakah persiapan kita?
Kalau ikutkan sekian lamanya, segala jentera, kemudahan termasuk tadi ada yang sebut dengan helikopternya, sepatutnya telah pun bersedia dan meletakkannya di lokasi-lokasi yang bakal dilanda banjir. Kita tahu bahawa setiap kawasan yang biasa dilanda banjir, siren kecemasan akan dibunyikan menunjukkan bahawa kita perlu bertindak segera kerana kebimbangan ini amat tinggi. Kecemasan, emergency call supaya tindakan tuntas daripada mana-mana kementerian pun bersama-sama untuk kita bekerjasama agar segala usaha yang kita buat ini kerana kita tidak mahu kemalangan jiwa ini berlaku.
Kalau bencana, pastinya melibatkan kemalangan jiwa, harta benda dan sebagainya. Harta benda boleh diganti. Kalau nyawa yang hilang, tidak ada gantinya. Jadi inilah tindakan yang perlu kita buat bersama-sama dalam satu pasukan kita. Ya, sila Yang Berhormat Parit.
Dato’ Mohd Nizar bin Haji Zakaria - Parit
[Bercakap tanpa menggunakan pembesar suara]
Dato’ Haji Salim Sharif - Jempol
Saya berharap perkara ini dapat ditingkatkan bersama.
Jadi untuk mengakhiri ucapan saya, segala-galanya saya dah sebut. Ada yang menyatakan kepada saya, apa sebenarnya i-Citra. Tadi sebut i-Citra, mungkin ada yang nak tahu apakah sebenarnya i-Citra ini. Saya nak berkongsi dengan semua bahawa apa yang saya lihat pada hari ini supaya satu lagi pengeluaran wang – kita ada i-Lestari, i- Sinar dan i-Citra. Jadi, yang saya maksudkan adalah ‘i-Ceria’ kerana dalam kita menyambut Aidilfitri dan dalam keadaan kita menyambut perayaan, sudah pastilah perbelanjaan ini diperlukan.
Jadi, inilah keadaan kita supaya pengeluaran ini dimudahkan dan mereka yang layak. Kalau mereka ini ada RM10,000 nak keluar, duitnya ada RM11,000, jadi bolehlah dibenarkan untuk pengeluaran wang tersebut walaupun dalam keadaan yang sukar, walaupun simpanan ini untuk hari tua tetapi belum tua, dah susah. Jadi inilah simpanan yang terakhir bagi mereka.
Saya rata-rata melibat bahawa keperluan ini sangat mendesak. Saya yakin dan percaya dengan Keluarga Malaysia yang ada, Yang Amat Berhormat Bera sudah pastinya mendengar denyut nadi rakyat dan merasai bagaimana penyelesaian ini dapat dibuat dan sebagai penyokong kepada usul tersebut, ia sudah pastinya dapat meringankan serba sedikit beban rakyat yang terkesan akibat berbagai-bagai bencana yang berlaku termasuklah yang saya sebutkan tadi, kehilangan pekerjaan dan sebagainya. Ya, Yang Berhormat Parit.
Dato’ Mohd Nizar bin Haji Zakaria - Parit
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Yang Berhormat Jempol, saya juga menyokong cadangan ataupun pandangan yang disebut oleh Yang Berhormat sebentar tadi bahawa ‘i-Ceria’ sudah pasti ada definisi- definisi tertentu untuk kita menceriakan rakyat ataupun masyarakat, apatah lagi konsep Keluarga Malaysia ini.
Jadi, saya juga berharap mudah-mudahan melalui kemampuan-kemampuan daripada kerajaan untuk kita membantu masyarakat, rakyat kita di dalam negara kita apatah lagi di dalam situasi pandemik ini, dalam tempoh anak-anak kita untuk persekolahan sesi 2022 dan juga mungkin ada masalah-masalah yang tertentu.
Bila kita dapat untuk memberikan beberapa manfaat kepada rakyat dalam bentuk pengeluaran dan juga bantuan-bantuan seperti yang disebut oleh Yang Berhormat Jempol sebentar tadi, ‘i-Ceria’. Jadi sudah pasti akan menceriakan dan juga mengharmonikan termasuklah sudah pasti mereka yang ada mempunyai tanggungan, bebanan dan
Dato’ Mohd Nizar bin Haji Zakaria - Parit
sebagainya itu akan dapat bangkit semula untuk meneruskan nilai-nilai berkehidupan khususnya di dalam negara kita. Terima kasih.
Dato’ Haji Salim Sharif - Jempol
Ya, terima kasih.
Tuan Karupaiya a/l Mutusami - Padang Serai
Yang Berhormat Jempol, tambah sedikit.
Dato’ Haji Salim Sharif - Jempol
Ya, sila.
Tuan Karupaiya a/l Mutusami - Padang Serai
Saya juga setuju dengan Yang Berhormat Jempol dan di masa yang sama juga, kerajaan haruslah menjaga kenaikan harga barang. Apabila rakyat dapat duit, harga melambung naik. So, ini menyusahkan semua rakyat dalam negara ini. Saya berharap harga barang ini dikawal dan juga kalau boleh diturunkan pada sepertimana yang sedia kala yang dahulu. Masa Pakatan Harapan, kita kawal. Akan tetapi, hari ini saya lihat harga barang melambung naik sampai rakyat tidak tahanlah. So, ini perlu diutamakan oleh kerajaan. Terima kasih, Tuan Yang di-Pertua. Terima kasih, Yang Berhormat Jempol.
Dato’ Sri Hasan bin Arifin - Rompin
Saya setuju dengan pandangan Yang Berhormat Padang Serai tadi bahawa bila duit keluar daripada kantung rakyat dengan mudah, umpamanya ketika kerajaan membayar bonus, kerajaan menaikkan gaji istimewa dan pengeluaran i-Citra ini, ada kecenderungan peniaga-peniaga untuk menaikkan harga barang dan ini menyebabkan walaupun duit dapat tetapi kuasa beli masyarakat semakin kurang. Kuasa beli masyarakat semakin kurang. Walaupun dia mempunyai kewangan tetapi bila peniaga-peniaga menaikkan harga barang mereka, jadi kuasa beli sebenar di kalangan rakyat semakin berkurang.
Jadi, kenaikan harga barang oleh peniaga-peniaga yang tidak bertanggungjawab harus dikawal. Kita minta KPDNHEP lebih tegas membuat enforcement terutama di kampung. Kadang-kadang kedai-kedai di kampung, kedai-kedai di bandar-bandar kecil, tidak banyak pegawai yang pergi membuat enforcement.
Selalunya di luar bandar lah, masyarakat luar bandarlah yang menjadi mangsa kepada kenaikan harga yang tidak terkawal dan oleh kerana alasan mereka kos transport dan sebagainya. Akan tetapi, itu bukan penyebab utama kepada kenaikan harga barang di luar daripada harga yang sepatutnya di kedai-kedai di luar bandar. Ia kerana mereka di luar kawalan oleh pegawai-pegawai.
Kita mohon supaya KDPNHEP lebih menjalankan enforcement di kedai-kedai di bandar-bandar kecil dan di kedai-kedai di luar bandar supaya masyarakat luar bandar tidak menjadi mangsa kepada kenaikan harga yang tidak terkawal, Tuan Yang di-Pertua.
Dato’ Dr. Xavier Jayakumar a/l Arulanandam - Kuala Langat
Saya hendak bersama kongsi sedikit. Saya ingat saya setuju dengan Yang Berhormat Jempol. Isu i- Ceria ini, kita kena buat kajian dan selepas itu kalaulah kerajaan setuju dengan apa yang disebut oleh Yang Berhormat Jempol ini, saya sokong penuh untuk kita bantu orang-orang di bawah khususnya orang di luar bandar dan juga dari B40 dan ke bawah.
Ini suatu yang baik dengan keadaan yang kita ada sekarang. Ekonomi kita akan ambil masa sedikit untuk naik kepada taraf dahulu. Sebelum itu, kita kena buat sesuatu untuk bantu mereka di bawah dan sebagai kerajaan bertanggungjawab dan bertepatan dengan Keluarga Malaysia ini, saya harap ini boleh diambil sebagai satu cadangan oleh Kementerian Kewangan dan semua kementerian lain untuk bantu mereka di bawah.
Dato’ Haji Salim Sharif - Jempol
Terima kasih. Jadi, rasanya banyak sokongan fasal i-Ceria ini yang saya cadangkan nama ini supaya tindakan oleh Kementerian Kewangan juga mengambil kira keluh resah rakyat yang berada di luar sana yang mengharapkan supaya kelulusan ini dapat dibuat bergantung kepada kewangan yang ada pada simpanan mereka.
Tuan Yang di-Pertua, saya rasa sudah sampai di penghujungnya dan izinkan saya mengakhiri perbahasan dengan menyampaikan beberapa rangkap pantun.
Dato’ Haji Salim Sharif - Jempol
*Pergi ke sungai mencari toman, Naik ke darat menjelang petang, Titah Agong dijadikan pedoman, Baik kerajaan mahupun pembangkang.
Burung tempua membuat sarang, Terbang rendah mencari makan, Sidang Parlimen kembali bersidang, Isu rakyat mesti diutamakan.* Terima kasih, Tuan Yang di-Pertua. Wabillahi taufik walhidayah. Saya mohon cadangan ini supaya ianya diperkenankan, dipermudahkan. Terima kasih.
[Tepuk]
Dato’ Ramli bin Dato' Mohd Nor - Cameron Highlands
Dipersilakan Yang Berhormat Pasir Mas untuk membahaskan usul.
Tuan Ahmad Fadhli bin Shaari - Pasir Mas
*Bismillahi Rahmani Rahim.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.* Terima kasih kepada Tuan Yang di- Pertua. Saya ucapkan tahniah kerana diberikan tanggungjawab untuk menjalankan tugas sebagai Yang di-Pertua pada petang ini. Saya kira walaupun hanya diberikan tugas untuk menggalas tugas daripada Ahli Parlimen biasa tetapi ini merupakan satu pengiktirafan kerajaan kepada komuniti Orang Asli di mana Tuan Yang di-Pertua telah menduduki ataupun Timbalan Yang di-Pertua telah menduduki kerusi tersebut pada hari ini sebagai menjalankan arahan Tan Sri Speaker.
Saya mengucapkan terima kasih kerana diberikan peluang untuk saya untuk memberikan ucapan menyokong Usul Menjunjung Kasih di atas Titah Yang di-Pertuan Agong bagi Majlis Persidangan Pembukaan Penggal Kelima, Parlimen Ke-14. Serangkap pantun saya jadikan pembuka tirai ucapan.
Daun selasih di atas tungku, Dicampak ikan di atas para, Menjunjung kasih Titah Tuanku, Kita bahaskan demi negara. Tuan Yang di-Pertua, saya mulakan dengan Firman Allah SWT... [Membaca sepotong ayat Al-Quran] “*Sesiapa yang bertakwa kepada Allah dengan mengerjakan suruhan dan meninggalkan larangannya, nescaya akan diberikan kelapangan dan diberikan rezeki dari tidak disangka-sangka. Dan ingatlah sesiapa yang bertawakal
(berserah diri) kepada Allah, maka dicukupkan baginya keperluan. Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala dikehendaki. Allah telah pun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.*” Tuan Yang di-Pertua, saya mulakan dengan peristiwa banjir di Pasir Mas dan Rantau Panjang beberapa hari lepas. Walaupun tadi panjang lebar ucapan daripada Yang Berhormat Jempol dengan dicelah oleh rakan-rakan daripada Ahli-ahli Parlimen yang lain tetapi saya ingin merakamkan di sini juga dalam ucapan saya bahawa peristiwa banjir ini suatu isu yang cukup besar berlaku kepada kami di kedua-dua Parlimen ini.
Saya memohon kemaafan kerana tidak dapat hadir upacara pembukaan Dewan dan mendengar secara langsung titah Seri Paduka Baginda pada semalam kerana isu banjir yang bermula pada malam kelmarin. Kawasan Parlimen saya menghadapi banjir yang sangat-sangat luar biasa.
Peristiwa bencana banjir besar ini yang melanda Pantai Timur tempoh hari merupakan suatu yang tidak dijangka kerana ia berlaku di luar musim tengkujuh menyebabkan banyak kawasan terjejas termasuklah yang berada di tempat tinggi. Ia boleh saya katakan lebih dahsyat berbanding peristiwa hitam bencana banjir pada tahun 2014 yang lalu.
Tuan Ahmad Fadhli bin Shaari - Pasir Mas
Saya telah turun menyampaikan pelbagai sumbangan makanan dan keperluan asas dan melihat sendiri bagaimana kesusahan yang menimpa mereka ketika ini. Masih lagi mangsa-mangsa dipindahkan. Ada yang terpaksa menjalani rawatan dialisis dalam masa yang sama positif COVID-19, sedangkan pada masa yang sama peristiwa ini berlaku pada jam lebih kurang 3.00 ke 4.00 pagi malam kelmarin. Kebanyakan rumah ditenggelami banjir, barang keperluan rosak, beribu-ribu buah kenderaan yang musnah.
Kesemua ini memerlukan kos baik pulih yang tinggi.
Saya ingin mencadangkan supaya kerajaan memanjangkan skim bantuan kerajaan Bencana Banjir Keluarga Malaysia kepada semua mangsa banjir yang baru-baru ini di Lembah Klang, dipanjangkan kepada Kelantan dan Terengganu. Skim ini turut merangkumi bantuan wang ihsan, bantuan pembelian barangan keperluan rumah, barangan elektrik serta rebat bil elektrik termasuklah yang saya kira mustahak adalah rebat baik pulih dan penggantian kenderaan yang rosak ditenggelami oleh banjir. Ini semua bagi meringankan sedikit beban yang ditanggung oleh mangsa selepas daripada ini.
Tuan Ahmad Fadhli bin Shaari - Pasir Mas
Saya juga ingin mencadangkan pihak yang terlibat dalam Projek Tebatan Banjir Sungai Lancang perlu bersidang segera. Duduk, bincang langkah yang perlu dibuat di lokasi benteng yang pecah. Sekarang benteng yang dibuat sementara itu telah pun pecah dan dibuat gate sementara, jambatan sementara atau yang sesuai sehinggalah projek siap, barulah dibina benteng kekal, sebagai contoh.
Panggillah kami Ahli-ahli Parlimen, ADUN-ADUN sebagai contoh, untuk duduk mendengar taklimat daripada orang-orang cerdik pandai, arkitek-arkitek, engineers, jurutera yang membina benteng ini. Buka dan review balik Laporan EIA yang telah diluluskan. Adakah benar fasa satu projek bermula daripada Lancang? Kalaulah benar, apakah agaknya risiko dan pencegahan dan sebagainya ke atas kawasan yang terlibat?
Jelas sekali kalaulah banjir berlaku kerana hujan yang lebat semata-mata, saya kira rakyat boleh terima. Akan tetapi banjir yang berlaku ini ialah kerana projek tebatan banjir yang belum siap. Saya ingin merakamkan terima kasih, Menteri KASA pun telah turun beberapa kali ke Parlimen Pasir Mas dan Rantau Panjang melihat projek tebatan banjir. Saya ucap terima kasih.
Projek dimulakan daripada kerajaan sebelum daripada ini, diteruskan sehingga ke hari ini, sekali lagi saya ucap terima kasih. Kami di Parlimen Pasir Mas dan Rantau Panjang serta Tumpat sangat-sangat berterima kasih. Akan tetapi dalam masa yang sama, akibat daripada projek ini mengambil masa yang begitu panjang, akhirnya ia terdedah kepada trial and error yang menyebabkan kawasan yang berdekatan ditenggelami oleh banjir.
Saya harapkan supaya penyelesaian jangka masa panjang. Saya mohon kementerian bertanggungjawab mempercepatkan Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu Sungai Golok Fasa Satu yang dijadualkan siap pada Ogos 2024, diawalkan rancangan menyiapkan projek berkenaan. Saya yakin kerajaan boleh buat.
Tahun lepas di Pasir Mas, berlaku tanah runtuh di tebing Sungai Kelantan. Dalam masa yang pantas, award tender dikeluarkan dan projek telah pun dilaksanakan.
Alhamdulillah, sekarang sudah sampai ke penghujung. Ertinya, terpulang kepada political will ataupun tekanan politik, kehendak politik ataupun dari sudut hasrat kerajaan sendiri. Kalau kerajaan kata ya, maka insya-Allah projek ini boleh dibuat. Saya mohon supaya Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dapat turun segera ke Pasir Mas dan Rantau Panjang ini buat lawatan, lihat sendiri. Saya jemput kerana Yang Amat Berhormat Bera, saya yakin Kelantan dekat di hati Yang Amat Berhormat Bera.
Dulu pada zaman Yang Berhormat Pekan sebagai Perdana Menteri, Yang Berhormat Pekan turun beberapa kali ke Kelantan ketika berlaku isu seperti ini. Ketika zaman Yang Berhormat Langkawi sebagai Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat daripada Pandan, juga turun ke Rantau Panjang untuk melihat situasi banjir.
Tuan Ahmad Fadhli bin Shaari - Pasir Mas
Ketika Yang Berhormat Pagoh sebagai Perdana Menteri pun sempat turun. Saya yakin Yang Amat Berhormat Bera sebagai Perdana Menteri, insya-Allah boleh turun. Oleh sebab hujung tahun lepas, kami di kedua-dua Parlimen ini tidak mengalami banjir yang teruk. Jadi, sekarang ialah masa yang sesuai untuk Yang Amat Berhormat Perdana Menteri datang ke Parlimen kami untuk melihat situasi banjir.
Tuan Yang di-Pertua, saya beralih kepada isu yang berikutnya iaitu isu Covid-19.
Kita menyaksikan peningkatan kes Covid-19...
Tuan Sabri bin Azit - Jerai
Saya minta laluan.
Tuan Ahmad Fadhli bin Shaari - Pasir Mas
Yang Berhormat Jerai.
Tuan Sabri bin Azit - Jerai
Tuan Yang di-Pertua, masih lagi tentang banjir. Saya hendak sentuh isu kesiapsiagaan. Setiap kali banjir ditular atau tertular, mangsa banjir tersangkut di bumbung-bumbung rumah. Apakah kesiapsiagaan daripada pihak kerajaan untuk membantu mangsa banjir dalam keadaan kecemasan masih di tahap tidak mencukupi? Maksud saya, adakah kemampuan kementerian menggunakan segala prasarana yang ada seperti helikopter dan sebagainya masih belum mencukupi? Mohon penjelasan.
Tuan Ahmad Fadhli bin Shaari - Pasir Mas
Terima kasih Yang Berhormat Jerai. Masukkan ucapan Yang Berhormat Jerai sebagai sebahagian daripada ucapan saya. Isu Covid-19 Tuan Yang di-Pertua, kita menyaksikan peningkatan kes Covid-19 yang semakin ketara dengan purata 20 ribu ke-30 ribu kes ketika ini, setiap hari. Perkara ini didorong oleh varian Omicron yang turut menjadi varian utama penularan virus Covid- 19 di peringkat global. Setakat ini, para saintis global cenderung melihat varian ini, khususnya bagi subvarian BA1 ini tidak menyebabkan komplikasi yang kritikal secara agregatnya. Berbanding varian Delta yang pernah melanda negara, yang global pada tahun lalu.
Meskipun demikian, varian ini mempunyai kadar kecepatan merebak yang tinggi.
Kita melihat bagaimana dalam tempoh sebulan ini kes dengan cepat mencanak naik sehingga ke paras tertinggi mencecah 30 ribu kes sehari. Kadar kebolehjangkitan negara melebihi paras 1.00 sejak sebulan yang lalu. Kadar hospitalisasi dan ICU juga mengalami peningkatan walaupun tidak ketara. Kesemua ini petunjuk yang wajar diwaspadai oleh semua pihak ketika ini. Ketika ramai berkata berkenaan dengan situasi peningkatan mendadak ini, saintis semula mengesan subvarian BA2 yang lahir daripada rahim Omicron yang sama mula merebak, terutama di negara Eropah dan juga Denmark.
Walau bagaimanapun, setakat pandangan yang dikeluarkan oleh para saintis menunjukkan subvarian ini tidaklah membahayakan. Walaupun demikian, perlu ada langkah berjaga-jaga daripada kita. Saya bangkitkan perkara ini supaya negara perlu mempersiapkan suatu strategi yang tepat dengan melihat kepada kemungkinan unjuran situasi-situasi yang berlaku.
Kita maklum varian Omicron tidak mendorong kepada komplikasi kes-kes yang teruk tetapi kebimbangan terhadap kemunculan varian baru daripada penularan kes yang tinggi pada hari ini tetap ada. Saya mohon kerajaan memberikan penjelasan, apakah exit plan yang dirangka oleh kerajaan bagi menghadapi suasana yang semakin menekan dengan pelbagai kelonggaran sekatan? Saya setuju kelonggaran sekatan diberikan tapi apakah strategi yang sedang diatur oleh kerajaan?
Dalam masa yang sama, Akta 342 yang sedang hangat dibincangkan sekarang ini, secara umumnya saya tidak mempunyai halangan terhadap pindaan tersebut, kecuali pada seksyen 21A, 24 dan 25. Di mana seksyen 21A hendak dipinda kepada Ketua Pengarah boleh mengeluarkan apa-apa arahan mengikut apa-apa cara sama ada secara am atau khusus kepada mana-mana orang ataupun golongan orang. Seksyen 24 - penalti am menyatakan bahawa jika didapati bersalah, seseorang individu boleh dikenakan penalti tidak melebihi RM100 ribu atau dipenjara tidak melebihi tujuh tahun bagi pertuduhan sejumlah RM2 juta.
Seksyen 25 - kompaun kesalahan yang menyatakan bahawa individu boleh dikompaun tidak melebihi RM10 ribu dalam hal pertubuhan perbadanan tidak melebihi
Tuan Ahmad Fadhli bin Shaari - Pasir Mas
RM1 juta. Seksyen 21 ini Tuan Yang di-Pertua, walaupun akan ada perbahasan tapi saya ingin menyatakan di sini, ia memberikan kuasa penuh, absolute power kepada Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan tanpa perlu merujuk kepada mana-mana pihak dan ini bahaya. Ia boleh menjurus kepada penyalahgunaan kuasa. Saya berpandangan bahawa adalah lebih wajar keputusan untuk mengambil tindakan itu ditentukan oleh sebuah Majlis, bukan semata-mata discretion oleh seorang ketua pengarah.
Jumlah penalti melalui cadangan pindaan seksyen 24 pula terlalu besar. Ia menekan rakyat sebenarnya dan malah, hukuman tujuh tahun ini sama dengan seksyen 325 - mendatangkan kecederaan serius, seksyen 363 kerana menculik, seksyen 506 kerana ugutan jenayah, seksyen 379 kerana menyamun, seksyen 393 kerana cuba mencuri. Adakah- ya saya tahu bahawa melanggar SOP satu kesalahan tetapi adakah rakyat perlu ditekan sampai ke tahap itu sehingga memperkenalkan denda yang sangat- sangat tidak munasabah? Jadi oleh yang demikian, saya kira seksyen ini perlu untuk dikaji semula dan Ahli-ahli Parlimen perlu mendengar bagaimana pandangan dan hasrat daripada rakyat supaya rakyat tidak lagi tertekan dengan isu-isu seperti ini.
Begitu juga dalam isu vaksinasi. Kerajaan tidak boleh menafikan ada beberapa individu dan pihak yang terkesan. Saya bukan antivaksin, saya pro kepada vaksin. Saya di antara orang yang paling awal mengambil booster di Dewan ini tetapi tidak boleh menafikan ada terkesan dengan vaksin.
Setakat manakah aduan diterima oleh kerajaan dan pampasan yang disediakan oleh kerajaan pada individu-individu yang menghadapi kesan sampingan terhadap vaksin? Tidak perlu saya sebutkan ada kes di sana, di sini, ada yang mengalami kes yang serius dan sebagainya. Kerajaan perlu bersedia untuk memberikan jawapan dan juga pampasan kepada mereka yang akhirnya menghadapi masalah kerana selepas daripada di vaksinasi.
Tuan Yang di-Pertua, lanjutan daripada perbahasan mengenai penularan varian Omicron ini, saya ingin mengetengahkan persoalan mengenai kedudukan ekonomi negara dengan unjuran positif yang diletakkan pada tahun lalu. Saya meneliti laporan dari Tabung Kewangan Dunia (IMF) sendiri, kebanyakannya masih meletakkan prospek ekonomi negara dalam situasi positif, sekitar 5 peratus ke 6 peratus KDNK pada tahun ini.
Saya tidak mempunyai masalah dengan unjuran tersebut dan saya boleh yakin dengan daya tahan ekonomi ketika ini bersandarkan permintaan domestik dari luar dan dalam negara semakin mengukuh. Cuma persoalannya, adakah impak terhadap penularan semasa Covid-19 dengan unjuran ekonomi negara? Begitu juga tempiasnya terhadap konflik yang sedang melanda Ukraine dan Rusia ketika ini. Saya mohon penjelasan berkenaan dengan perkara ini.
Tuan Ahmad Fadhli bin Shaari - Pasir Mas
Tuan Yang di-Pertua, sebelum saya pergi ke isu-isu yang lain, saya ingin menyatakan beberapa isu secara sepintas lalu, beberapa isu yang penting yang melibatkan periuk nasi rakyat. Antaranya ialah isu tuntutan pengeluaran KWSP sebanyak RM10,000. Saya menerima memorandum daripada Persatuan Pengguna Islam Malaysia
(PPIM) yang telah memberikan memorandum kepada saya mewakili puluhan ribu rakyat menuntut supaya pengeluaran KWSP sebanyak RM10,000 ini untuk kali yang terakhir ini dapat dibenarkan.
Saya menyokong apa yang disebut oleh Yang Berhormat Jempol sebentar tadi bahawa inilah yang merupakan talian hayat terakhir untuk rakyat supaya kerajaan dapat mempertimbangkan terutama selepas daripada banjir, selepas daripada isu COVID-19 dan sebagainya, rakyat mula bertatih untuk membina ekonomi mereka. Rakyat yang tidak berniaga selama dua tahun Tuan Yang di-Pertua, mereka sudah pun hilang modal hendak beli khemah balik, hendak beli bekas air semula, hendak set up perniagaan kecil-kecilan semula. Kita beri kepada mereka walaupun kita faham KWSP ini untuk simpanan hari tua.
Kita bercakap tentang hari tua, rakyat bercakap tentang hari ini. Kita bercakap tentang simpanan mereka sepuluh tahun, 20 tahun akan datang, tetapi rakyat bercakap tentang apa yang mereka hendak makan pada malam ini di atas meja mereka. Saya yakin
Tuan Ahmad Fadhli bin Shaari - Pasir Mas
Yang Amat Berhormat Bera sebagai seorang Perdana Menteri yang prihatin boleh membawa isu ini ke dalam Kabinet.
Saya menyebut ini kerana ada yang menyatakan bahawa Yang Amat Berhormat Perdana Menteri telah bawa isu ini ke dalam Kabinet, tetapi telah dibantah oleh sebahagian Menteri-menteri dan akhirnya ia tidak dapat dikeluarkan. Secara peribadi, saya tidak yakin, benarkah demikian kerana sudah tentu kita tidak tahu apa yang berlaku dalam mesyuarat Kabinet. Betulkah Yang Amat Berhormat Perdana Menteri telah bawa isu ini dalam Kabinet dan dibantah oleh Menteri-menteri? Kalau betul, saya kira ini perkembangan yang sangat-sangat menyedihkan.
[Timbalan Yang di-Pertua (Dato' Mohd Rashid Hasnon) **mempengerusikan Mesyuarat****] Tidak boleh seorang Perdana Menteri yang saya kira apabila telah membawa satu isu ke dalam Kabinet yang melibatkan kepentingan rakyat, akhirnya dibantah. Saya tidak fikir yang Yang Amat Berhormat Perdana Menteri ini boleh diletakkan sampai tahap selemah itu. Ini satu perkembangan yang tidak baik untuk persepsi rakyat kepada kekuatan kerajaan yang ada pada hari ini. Tidak kira sama ada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri sudah bawa atau belum, saya fikir Ahli-ahli Parlimen yang ada pada hari ini boleh bersama dengan tuntutan rakyat ini untuk membenarkan tuntutan KWSP.
Saya menyeru Yang Berhormat Menteri-menteri yang ada dalam satu keputusan collective responsibility menyokong tuntutan ini walaupun mungkin ia membawa satu kesan yang agak besar, tetapi insya-Allah dengan kita menyuntik sedikit sumbangan ataupun menyuntik kekuatan ekonomi kepada rakyat, mereka boleh berbelanja dan sebagainya. Ia akan stimulate, ia akan merangsang rakyat untuk berbelanja dan akhirnya ekonomi itu akan bergerak dengan sendiri. Saya memohon supaya dengarlah rintihan- rintihan daripada rakyat ini.
Saya yakin, insya-Allah Yang Amat Berhormat Bera seorang yang datang daripada keluarga yang sederhana, yang bukan datang daripada keluarga yang mewah.
Seorang yang pernah bergelumang dengan susah payah jerih rakyat boleh mendengar isu ini dan kerajaan dengan seluruh keputusan, dengan seluruh kementerian dan Kabinet, Menteri Kabinet yang ada faham tuntutan daripada rakyat dan membenarkan pengeluaran ini untuk kali ini, untuk kali ini. Lagi pun kita dimaklumkan bukanlah ramai pun yang ada simpanan RM10,000 di dalam akaun KWSP mereka. Kita boleh bagi dan yang tidak ada tidak sampai RM10,000, tetapkan jumlah yang munasabah, 70 peratus, 80 peratus atau 50 peratus, terpulang.
Tuan Yang di-Pertua, yang berikutnya adalah isu tuntutan royalti minyak negeri Kelantan ke atas PETRONAS yang saya kira ia sudah sampai seolah-olah ke jalan yang buntu. Ia seolah-olah sudah sampai ke jalan yang mati tidak tahu hendak ke mana. Kita telah menjadi seperti ‘bangau oh bangau’ yang ditanya kenapa kakinya kurus, bangau mengatakan ikan yang tidak timbul, ikan tidak timbul kerana rumput yang panjang. Rumput kata kerbau yang tidak makan. Jadi oleh demikian, hari ini saya hendak tahu tuntutan royalti minyak ini yang telah diberikan ke Sabah dan Sarawak.
Sabah dan Sarawak saya ucapkan tahniah, mereka menerima wang daripada minyak yang dikeluarkan dari bumi mereka, tetapi bagaimana dengan Kelantan? Kelantan juga telah dikeluarkan minyak dari bumi Kelantan. Sampai bila ia hendak disebut sebagai wang ehsan? Tidak kira apa panggilan sekalipun, tetapi Kelantan berhak kepada hasil bumi yang dikeluarkan daripada tanah milik negeri Kelantan yang bersempadan dengan persempadanan antarabangsa yang termaktub dengan jelas di dalam perjanjian dengan PETRONAS pada tahun 1975.
Tuan Yang di-Pertua, saya ingin membawa pula kepada isu judi yang telah pun diluluskan dahulu daripada lapan cabutan kepada 22 cabutan. Apa khabar untuk tahun 2022? Adakah masih kekal dengan 22 cabutan? Semoga tahun 2022 ini, kerajaan dapat menurunkan cabutan judi ini turun kepada angka yang paling rendah yang boleh diturunkan oleh kerajaan. Jangan pula kita pula yang meningkatkan kepada 22 angka cabutan menjadi termaktub dalam sejarah. Bilakah angka cabutan ini ditingkatkan, iaitu
Tuan Ahmad Fadhli bin Shaari - Pasir Mas
ketika kita menjadi kerajaan pada tahun 2021. Ia sangat memalukan untuk dicatat di dalam buku-buku sejarah.
Tuan Yang di-Pertua, saya juga ingin menyebut tentang isu harga test kit COVID- 19 yang masih lagi ada pihak farmasi dan sebagainya menjual dengan harga yang mahal.
Kerajaan perlu meletakkan kadar siling yang standard bagi seluruh negara untuk dimiliki oleh setiap rumah. Kalau setiap rumah sudah ada dalam simpanan mereka, mungkin 20 atau 30 simpanan test COVID-19 ini, ia boleh memberikan jaminan kepada mereka untuk melakukan test kendiri ini dan akhirnya mereka boleh mengekang dengan sendiri penularan wabak COVID-19 ini. Ramai saya yakin, rakyat Malaysia yang bila test dengan test kit ini dapati positif, mereka melakukan kuarantin kendiri dan ia membantu ke arah mengekang penularan wabak COVID-19.
Saya juga ingin bertanya tentang isu status lebuh raya Gerik, Pantai Timur, Gerik ke Jeli yang sudah pun ada baik pulih sedikit sebanyak, tetapi hari ini masih lagi berada pada situasi yang sangat-sangat menyedihkan. Jalan, line di tengah-tengah jalan, cat putih sudah pun hilang. Situasi jalan yang sudah tidak stabil dan sebagainya. Ini membahayakan kepada pengguna. Saya mahu tahu, setakat manakah Kementerian Kerja Raya memberikan peruntukan setiap tahun untuk menyelenggarakan jalan ini yang menjadi perhubungan utama rakyat dari Pantai Timur ke utara, terutama ke Kedah, ke Perak, ke Pulau Pinang dan sebagainya.
Tuan Yang di-Pertua, saya ingin menyebut tentang isu Littoral Combat Ship
(LCS). Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong menyebut tentang isu-isu rasuah. Isu ini juga merupakan isu yang penting di samping kerajaan terpaksa membayar pada harga yang mahal, ada kes peralatan yang diperoleh gagal memenuhi spesifikasi dan mencapai matlamat asal perkhidmatan sepenuhnya sebelum daripada ini.
Dalam isu projek kapal TLDM, Littoral Combat Ship ini dan juga projek kapal peronda OPV Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia di bawah KDN ini, hingga kini kita difahamkan kapal-kapal ini masih belum lagi diserahkan. Sebenarnya di manakah punca masalah ini? Jawatankuasa PAC telah pun membuat siasatan, tetapi setakat manakah jawatankuasa yang tidak mempunyai bidang punca kuasa untuk bertindak ini boleh melaksanakan tanggungjawab sebagai mana badan-badan seperti SPRM, PDRM dan sebagainya.
Tidakkah kerajaan berminat untuk menekankan perkara barakah? Reda Allah dalam apa jua perancangan. Tidak terkecuali dalam mengatur gerak hal ehwal pertahanan dan keselamatan negara. Tidak takutkah kita kepada Allah yang Maha Esa yang merancang segala pertahanan kita? Tidak takutkah kita dalam keadaan ini? sebahagian daripada rakyat kita sendiri mengambil peluang daripada projek yang sepatutnya dijadikan asas pertahanan negara ini untuk membina, untuk menggandakan keuntungan peribadi?
Untuk meneruskan kerja penyiapan enam buah LCS ini, saya difahamkan pihak kontraktor sedang giat memohon agar kerajaan meluluskan beberapa bilion lagi diberikan kepada mereka di samping baki RM3 bilion daripada peruntukan asal syiling RM9 bilion.
Kalau permintaan ini dipersetujui, kerajaan terpaksa menanggung untuk projek itu menjadi berbelas bilion ringgit. Satu harga yang telah pun tinggi, lebih kurang RM2 bilion untuk sebuah LCS. Sudahlah RM6 bilion telah dibelanjakan, hingga kini sepuluh tahun, kapal masih belum berjaya disiapkan. Bahana apakah yang menimpa negara ini?
Sekiranya permintaan Boustead ini dipersetujui oleh kerajaan, persoalan saya, apakah jaminan kapal ini dapat disiapkan dengan sempurna? Apakah pelepasan beberapa bilion lagi wang untuk membiayai projek sakit ini tidak akan mengganggu peruntukan bajet TLDM untuk lain-lain projek pemodenan tentera laut yang telah lama dirancang?
Sebelum Kabinet meluluskan permintaan ini, saya menyeru untuk kita membawa kes ini kepada siasatan kepada satu Jawatankuasa Khas untuk menyiasat secara telus dan juga jujur membawa kes ini ke mahkamah dan mendakwa petualang dan mereka yang bertanggungjawab yang menyebabkan perbelanjaan hapus. Perbelanjaan sia-sia kerajaan ini sebanyak berbilion ringgit Malaysia. Kerajaan perlu untuk menunjukkan keseriusan dalam melaksanakan Titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
Tuan Ahmad Fadhli bin Shaari - Pasir Mas
Tuan Yang di-Pertua, saya beralih kepada berikutnya isu kebajikan para jurutera.
Dewan yang mulia ini perlu memberi perhatian pada isu kebajikan jurutera yang merupakan tulang belakang negara bagi mendepani Revolusi Industri Keempat (IR4.0).
Statistik daripada Kementerian Pengajian Tinggi menunjukkan kerjaya sebagai jurutera semakin tidak popular apabila kemasukan pelajar ke bidang kejuruteraan di IPT telah berkurang sebanyak 26 peratus pada tahun 2020 berbanding kemasukan pelajar pada tahun 2016.
Tuan Yang di-Pertua, empat faktor utama yang perlu kita beri perhatian.
Pertama data PERKESO menunjukkan 22 peratus daripada jawatan jurutera menawarkan gaji permulaan di bawah paras garis kemiskinan. Jurutera bekerja di bawah paras garis kemiskinan sebanyak RM2,208.
Kedua, peluang pekerjaan atau entry level untuk jurutera adalah 17 kali ganda lebih sedikit berbanding bilangan graduan jurutera yang dihasilkan oleh IPT setiap tahun.
Ketiga, kesamaran Akta 138 dalam melindungi kebajikan dan kualiti jurutera dan yang terakhir Malaysia masih dikategorikan sebagai negara berteknologi rendah menyebabkan tidak ada keperluan seseorang individu menjadi jurutera berkemahiran tinggi.
Tuan Yang di-Pertua, Kerajaan Malaysia perlu mengadakan kerjasama strategik dengan pemegang taruh dari agensi kerajaan seperti BEM, MOSTI, MBOT, KSM dan KPT untuk memperkasa Akta 138 yang memelihara kebajikan jurutera serta berusaha menyediakan lebih banyak peluang-pekerjaan berasaskan teknologi tinggi. Saya dan pasukan ada menyiapkan beberapa dokumen kertas cadangan yang membincangkan isu ini secara lebih lanjut dan teliti dan boleh menjadi rujukan dan boleh kita menerima dan memberi pelawaan untuk berbincang dengan kementerian berkenaan berhubung dengan isu ini.
Tuan Yang di-Pertua, saya pergi kepada isu yang agak sensitif iaitu isu yang melibatkan kes habeas corpus yang melibatkan tiga orang anak kepada seorang ibu namanya Loh Siew Hong. Saya begitu kesal kerana direction ini telah dialihkan oleh beberapa pihak yang tidak bertanggungjawab sehingga mencetuskan kekecohan dan perbalahan yang berkait dengan sensitiviti agama dan kaum. Padahal ia tidak berkait.
Jika kita teliti dengan mendalam isu ini, seorang ibu atau seorang individu di Perlis yang dikenali sebagai namanya Nazirah atau dikenali dengan Ustazah Nazirah. Ia tidak menculik kanak-kanak tersebut seperti yang didakwa oleh beberapa pihak. Ini kerana asas yang dibangkitkan sejak dari awal bukanlah mengenai kononnya wujudnya elemen penculikan dan pengislaman secara tidak sah ketiga-tiga kanak-kanak berkenaan.
Dalam permohonan habeas corpus yang dinyatakan memang jelas dari sudut perundangan mahkamah telah menyerahkan hak penjagaan kanak-kanak tersebut kepada Puan Loh dan itu kita setuju. Seorang ibu, tidak ada masalah. Dia boleh menjaga anaknya. Cuma, apa yang saya fikir perlu diperjelaskan adalah kenapa Ustazah Nazirah ini ditohmah seolah-olah telah menculik kanak-kanak berkenaan.
Sedangkan rekod daripada ibu tersebut pernah berjumpa dengan anak beliau di hospital pada tahun 2020. Situasi ini meruncing kerana momokkan sesetengah pihak yang tidak mengetahui isu ini secara keseluruhan lalu membuat kesimpulan berdasarkan hearsay. Lalu beliau iaitu Puan Nazirah, Jabatan Mufti Perlis dan seangkatan dengannya menjadi mangsa jelikkan setengah netizen di media sosial dan ini perkembangan yang tidak baik.
Saya yakin pasukan di belakang Puan Nazirah ini ketika ini akan bertungkus- lumus untuk menyatakan kebenaran di sebalik kemelut yang berlaku sekitar isu tiga anak berkenaan. Cuma, soal isu pengislaman kanak-kanak secara sepihak atau unilateral convention ini merupakan isu panjang yang berkait dengan ketegangan bidang kuasa dua buah mahkamah utama. Di dalam negara ini syariah dan juga sivil. Saya mengharapkan agar langkah mengharmonisasikan kedua-dua mahkamah ini dapat dilakukan secara
Tuan Ahmad Fadhli bin Shaari - Pasir Mas
proaktif dan berobjektif dengan tidak mengambil kira atau dengan mengetepikan sentimen kaum dan juga pertembungan agama kerana itu ia amat tidak sihat dalam negara ini.
Isu ini adalah isu evergreen yang wajar ditangani dengan segera kerana ia sudah semakin melarat sehingga boleh merosakkan keharmonian sosial dalam negara. Tahun lalu, dalam kes Iki Putra bin Mubarak lawan Kerajaan Negeri Selangor. Mahkamah Persekutuan telah memutuskan bahawa seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah
(Selangor) 1995 mengenai kesalahan liwat sebagai tidak berperlembagaan dan tidak sah.
Keputusan ini telah menyebabkan perbahasan yang panjang dalam kalangan ahli perundangan mengenai kedudukan sebenar bidang kuasa kedua-dua mahkamah di dalam negara ini.
Beberapa tahun sebelumnya, kes Indira Gandhi lawan Pengarah Jabatan Agama Islam Perak, Kes Subashini lawan Saravanan 2008 mengenai kedudukan mahkamah syariah. Kedudukan Perkara 121(1A) dipinda pada tahun 1988 kini telah dicabar dengan keputusan mahkamah dalam kes Indira Gandhi sekali gus meletakkan kedudukan Mahkamah Syariah sebagai mahkamah kelas kedua.
Oleh sebab itu, saya mengharapkan agar sikap kita bersikap proaktif. Melihat perkara ini mencari solusi menang-menang bagi menghadapi kemelut pertembungan bidang kuasa kedua-dua mahkamah. Kita tidak sepatutnya berdiam diri dalam situasi ini yang semakin meruncing dari sehari ke sehari. Saya tertarik dengan pandangan yang dikeluarkan oleh Prof. Madya Dr. Mohamed Azam bin Mohamed Adil, Ketua Pengarah IKIM yang baru bahawa terdapat beberapa jalan keluar bagi mengharmonisasikan pertembungan dua mahkamah.
Antara lain ialah penubuhan sebuah mahkamah keluarga khas bagi menyelesaikan kes-kes yang mempunyai kepentingan peringkat sivil dan syariah. Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid sendiri mengangkat hakim-hakim mahkamah syariah untuk menghadiri prosiding di mahkamah sivil bagi memastikan kedua-dua pihak dapat diadili dengan lunas perundangan yang betul mengambil kira perundangan sivil dan prinsip syariah.
Dalam hal ini, saya menyeru pada semua pemimpin politik yang terutamanya mereka yang merentasi semua latar politik agak berganding bahu untuk memulakan langkah yang besar untuk bergerak ke arah meminda Perlembagaan Negara bagi mengekang kesan yang terhasil dari keputusan Mahkamah Syariah dalam kes-kes yang disebutkan.
Kita menyeru kerajaan-kerajaan negeri dan pihak-pihak berkuasa agama negeri untuk menjadikan agenda menyelamatkan akidah ummah sebagai agenda kerajaan bagi pertahankan kuasa-kuasa Ketua Agama Islam di negeri masing-masing dan kuasa Dewan-dewan Undangan Syariah dalam menggubal kesalahan-kesalahan jenayah syariah terhadap perintah-perintah agama dan pertahankan bidang kuasa dan peranan Mahkamah Syariah di seluruh negara.
Ini lebih baik daripada saya— mohon maaf walaupun tidak ada mungkin tidak ada kaitan secara langsung di sini tetapi kadang-kadang kita lebih kepada melihat kepada isu- isu yang lain yang saya kira tidak sesuai ataupun mungkin kita boleh melihat penyelesaian yang lebih proaktif seperti isu tidak boleh masuk ke masjid kalau belum booster dan sebagainya.
Dalam isu ini, saya kira ya bidang agama di bawah kuasa negeri-negeri tetapi mungkin kerajaan boleh berunding dengan negeri-negeri untuk membuat satu peraturan yang selaras di seluruh negara mengikut nasihat KKM. Terutama bagi mereka yang hendak masuk ke masjid ini apabila diwajibkan booster dia agak melampau kerana orang kata boleh masuk ke shopping mall tidak ada booster, ke stadium tidak ada booster dan sebagainya. Tiba-tiba hendak masuk ke masjid kena ada booster.
Ini isu yang berlainan. Cuma, saya hendak sebut ialah bagaimana fokus pihak- pihak berkuasa agama ini isu masalah Perlembagaan ini jauh lebih besar. Isu Undi 18 Tuan Yang di-Pertua, kita menyaksikan bagaimana tahun ini belia berumur 18 tahun dan ke atas boleh berpartisipasi dalam demokrasi dalam negara ini. Dalam tahun pertama, rolling plan pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-12, saya ingin menggagaskan satu
Tuan Ahmad Fadhli bin Shaari - Pasir Mas
cadangan penggubalan sebuah dasar yang khusus dalam memartabatkan partisipasi belia dalam penggunaan dasar dan polisi negara.
Dasar tersebut ialah dasar belia sejahtera yang terangkum di dalamnya empat teras negara utama iaitu pertama belia sebagai pemacu Revolusi Industri 4.0. Belia sebagai penggerak utama keusahawanan digital serta dua lagi baki ialah belia sebagai pendukung keilmuan dan pemantapan syariah. Teras belia sebagai pemacu Revolusi Industri 4.0 adalah supaya mereka menjadi pemacu utama ke arah merealisasikan salah satu daripada pemangkin dalam RMKe-12 iaitu mempercepat dan penerima gunaan teknologi dan inovasi serta membangunkan bakat masa hadapan.
Peranan belia hari ini wajar diangkat sebagai catalyst utama dalam merealisasikan pemangkin-pemangkin tadi dalam pelbagai bidang keutamaan. Sejajar dengan apa yang dirancang, diputuskan dalam RMKe-12. Ia juga termasuklah aspek pertanian pintar yang sangat memerlukan penglibatan golongan belia. Kedua, belia sebagai penggerak usahawan digital.
Golongan belia perlu menjadi penggerak utama dalam aspek keusahawanan digital dan dalam hal ini, kerajaan perlu untuk memberikan dorongan kepada mereka untuk menjadi penggerak kepada usahawan digital ini supaya mereka tidak hanya nampak masa depan mereka hanya untuk makan gaji semata-mata.
Bagi dua lagi, saya letakkan di sini ialah belia sebagai pendukung keilmuan dan pemantapan sahsiah. Kedua-dua ini saya kira penting kerana ia akan bertindak sebagai satu pakej yang sangat penting dalam diri belia pada hari ini selain menjadi faktor utama dalam melengkapi peranan mereka dalam teras revolusi industri dan keusahawanan digital.
Tuan Yang di-Pertua, saya bangkitkan cadangan penggubalan dasar yang komprehensif ini terhadap pembangunan belia terutama untuk perhatian Kementerian Belia dan Sukan (KBS) kerana kita perlukan satu nafas yang baharu terhadap belia.
Selaras dengan penglibatan mereka dalam Undi 18.
Tuan Ahmad Fadhli bin Shaari - Pasir Mas
Mari kita lihat PRN Johor ini Tuan Yang di-Pertua, berapa ramaikah belia di bawah umur 18 tahun yang berdaftar yang akan menyertai dalam proses pengundian. Tak kira mereka undi siapa, itu nombor tiga, nombor empat. Akan tetapi yang penting adakah mereka keluar untuk mengundi dalam pilihan raya. Kalau angkanya ini sangat rendah, ia tanda yang tidak baik untuk masa depan negara. Kalau angka penglibatan saluran belia 18 ke-24 sebagai contoh sangat-sangat rendah penglibatan mereka, sama ada undi mereka untuk siapa. Kalau itu berlaku, maka ia satu masa depan yang sangat rendah untuk negara.
Saya mengkaji trending di media sosial setiap hari. Saya kaji trend media sosial ini setiap hari. Dalam 10 trending isu media semasa setiap hari, tidak adapun trending isu PRN Johor. Yang ada ialah isu selebriti dan sebagainya. Ia satu perkara yang membimbangkan sebenarnya seolah-olah belia yang terlibat dengan media masa ini mereka tidak kisah apa yang berlaku di dalam Malaysia pada hari ini.
Sedangkan isu PRN, isu politik, isu masa depan negara – kalau belia tak kisah, kalau anak muda tak kisah, maka ia satu perkara yang sangat membimbangkan kita.
Akhirnya anak muda, mereka hanya akan peduli dengan dunia mereka sendiri. Apa kerajaan hendak buat, siapa kerajaan dipilih, siapa yang memerintah, terpulanglah. Ini merupakan suatu perkara yang sangat membimbangkan. Jadi kita perlu melihat kepada isu pendidikan politik dalam kalangan belia pada hari ini.
Dalam isu pendidikan Tuan Yang di-Pertua, saya yakin semua pihak mendengar keluhan ibu bapa dan guru mengenai tahap kurikulum di sekolah yang terlalu tinggi dan tidak bersesuaian dengan tahap pemikiran para murid. Malangnya keluhan tersebut seolah-olah “fall on deaf ears”. Rungutan iaitu seolah-olah masuk telinga kanan, keluar telinga kiri. Rungutan ramai pihak terhadap sukatan mengenai insurans dan takaful sebagai contoh, telah diajar di peringkat sekolah rendah. Kita dahulu Darjah 1, Darjah 2 kita boleh banding apa yang kita belajar dengan apa yang dipelajari oleh anak-anak kita.
Tuan Ahmad Fadhli bin Shaari - Pasir Mas
Bukan hendak buat bandingan biarlah sama, tidak. Akan tetapi kadang-kadang apa yang diajar kepada anak-anak kita itu peringkat yang kita pelajari ketika Tingkatan 3, Tingkatan 4 seolah-olah anak ini perlu untuk mendapat PhD atau menjadi PhD holder ketika mereka berumur 11 tahun. Anak-anak perlu diajar untuk bermain. Dunia mereka ialah dunia permainan. Maksud saya bukan lah mereka perlu bermain dalam kelas dan sebagainya. Akan tetapi mereka perlu diajar bagaimana social skills mereka, bergaul dengan orang lain. Mereka tidak boleh duduk di hadapan skrin dan tidak pedulikan sesiapa. Ini dalam isu pendidikan.
Kita pergi ke negara-negara maju, ketika kanak-kanak berumur 10 tahun, 11 tahun mereka didedahkan dengan aspek Montessori, bergaul dengan binatang, bergaul dengan tumbuhan dan sebagainya. Akhirnya anak-anak ini seolah-olah diletakkan, dijadikan tikus makmal, diletakkan pelbagai sukatan dalam diri mereka dan mereka pergi ke sekolah membawa beg sekolah yang berkali-kali ganda beratnya.
Isu beg sekolah berat ini juga Tuan Yang di-Pertua mungkin kita terasa isu ini isu ringan. Akan tetapi ia sangat serius dalam kalangan ibu bapa. Isu ini saya kaji dalam Twitter dan media sosial berkenaan isu beg sekolah berat di mana pelajar-pelajar sekolah rendah memikul beg-beg yang berat di sekolah. Sebelum mengutarakan cadangan, elok kita persoalkan adakah benar masalah beg ini dihadapi oleh pelajar sekolah rendah.
Adakah hanya pelajar yang tidak rajin menyusun buku teks yang perlu dibawa?
Kita ambil fakta. Purata pelajar di sekolah perlu menghadap lima keenam mata pelajaran dalam sehari, bermaksud lima ke enam atau lebih buku teks perlu dibawa. Ini belum termasuk pelajar yang ada kelas tambahan. Jelas di sini isu beg berat ini benar-benar berlaku dalam kalangan pelajar-pelajar kita di sekolah rendah. Jadi bagaimana negara- negara lain menghadapi isu ini?
Kalau di barat, budaya asalnya setiap sekolah diberikan ruang untuk meletakkan barang dalam lokar peribadi. Sekolah mereka memang direka untuk mempunyai lokar peribadi yang boleh menampung kesemua bilangan pelajar. Ia tidak menjadi budaya di dalam negara ini. Pada masa yang sama, saya percaya ramai berpandangan inilah waktu terbaik untuk mengadaptasi pendidikan digital di sekolah. Seperti yang dicadangkan, perkara ini tidaklah semudah yang dijangka.
Banyak faktor diambil kira ataupun mungkin juga buku teks itu perlu dibuat berasaskan kepada masa, tempoh (period) kita menghadapi persekolahan. Contoh hanya satu atau dua buku teks yang menggabungkan semua subjek dari bulan Januari sehingga bulan Mac sebagai contoh. Masuk ke bulan April, hanya satu atau dua buku teks yang menggabungkan semua subjek pada tempoh tersebut. Daripada bulan April sehingga bulan Jun. Jadi oleh yang demikian, tidak timbul isu beg sekolah yang berat ini yang mengganggu fokus ibu bapa pada hari ini.
Tuan Yang di-Pertua, seterusnya dalam minit-minit terakhir ini saya ingin menegaskan berkenaan dengan isu kedaulatan negara terutamanya isu kedaulatan negara di Pulau Pisang, sebuah pulau yang sememangnya mencetuskan kebimbangan ramai mengenai masa depannya. Pulau Pisang merupakan sebuah pulau yang berada di bawah kedaulatan negara. Akan tetapi berdasarkan perjanjian yang ditandatangani pada tahun 1900, Singapura telah diberikan hak untuk menguasai pentadbiran rumah api di pulau berkenaan sehingga ke hari ini. Saya yakin telah banyak perbahasan yang telah dikemukakan mengenai Pulau Pisang dan Kementerian Luar Negeri Malaysia dan Singapura juga telah menjelaskan bahawa Pulau Pisang ini kekal berada di bawah kedaulatan Malaysia.
Walau bagaimanapun, kita tidak lupa bagaimana negara kehilangan Pulau Batu Puteh. Berdasarkan penghakiman Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada tahun 2008. Alasan utama penghakiman ketika itu adalah bersandarkan kepada faktor effective control Kerajaan Singapura terhadap Pulau Batu Puteh sendiri yang mengakibatkan batuan tersebut terpaksa diserahkan kepada Singapura walaupun ia terletak lebih hampir kepada pesisir pantai negara. Apa masalahnya? Kerana kita terlepas pandang.
Bukan setahun, bukan dua tahun, tetapi bertahun-tahun kita terlepas pandang lalu Mahkamah Antarabangsa memutuskan kerana kawalan negara Singapura terhadap pulau
Tuan Ahmad Fadhli bin Shaari - Pasir Mas
tersebut, ia diberikan kepada Kerajaan Singapura. Kita juga harus sedar bahawa kejayaan kita pertahankan Pulau Sipadan dan Pulau Ligitan dari Indonesia juga bertitik tolak daripada faktor effective contol yang sama. Dalam kes Pulau Pisang...
Tuan Sim Chee Keong - Bukit Mertajam
Isu yang sama Yang Berhormat.
Tuan Ahmad Fadhli bin Shaari - Pasir Mas
Sila.
Tuan Sim Chee Keong - Bukit Mertajam
Terima kasih Yang Berhormat Pasir Mas dan juga syabas kerana telah membangkitkan tentang isu kedaulatan negara. Saya baru baca satu laporan berita online baru beberapa jam yang lalu. Saya petik daripada tajuk laporan itu dalam bahasa Inggeris dengan izin, “A Report: Malaysia Ordered to Pay Almost RM63 billion to Sulu Sultans’ Decendants.” Ini berkaitan dengan isu penuntutan oleh pihak Sulu terhadap beberapa tempat di Sabah dan ada laporan berita ini.
Saya rasa ini adalah satu perkara yang serius yang perlu diambil perhatian oleh kerajaan kerana ini berkaitan bukan sahaja dengan kedaulatan negara kita di sebelah Sabah tetapi juga dengan satu kes perundangan yang telah diberikan keputusan di mahkamah luar negara yang akan menyebabkan Malaysia terpaksa menanggung RM63 bilion kepada pihak berkenaan. Kalau kita tidak bayar dalam tempoh masa yang diberikan, kita kena bayar faedah ke atas tuntutan wang tersebut.
Jadi saya hendak minta pandangan Yang Berhormat Pasir Mas ke atas ini dan juga kerajaan tentang isu. Saya rasa kerajaan perlu menjawab isu ini dengan secepat mungkin bagi menenangkan atau memberi keyakinan kepada rakyat Malaysia terutamanya rakan-rakan kita di Sabah bahawa kedaulatan negara tetap terpelihara walaupun dengan isu ataupun keputusan mahkamah ini. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Mohd Rashid Hasnon
Terima kasih Yang Berhormat Bukit Mertajam. Sila teruskan.
Tuan Ahmad Fadhli bin Shaari - Pasir Mas
Terima kasih Yang Berhormat Bukit Mertajam. Ya, saya juga hendak bangkitkan isu berkenaan sebab saya juga terbaca sepintas lalu tadi. Juga, saya setuju dengan apa yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Bukit Mertajam tadi. Ia perlu untuk dijawab oleh kerajaan apa kedudukan sebenarnya kerana tiba-tiba sahaja kita diberikan tanggungjawab ataupun kita diberikan penghakiman untuk membayar sejumlah yang besar kepada pihak-pihak yang disebutkan tadi. Adakah kerana kita telah terlepas pandang sehingga kita tidak menghadiri prosiding yang telah dimaklumkan terlebih awal? Itu perlu untuk diberikan penjelasan oleh pihak kerajaan terutamanya Kementerian Luar Negeri.
Dalam kes Pulau Pisang ini, saya balik kepada kes Pulau Pisang ini kita tidak nafikan pulau tersebut kekal berada di bawah kedaulatan negara dan sentiasa dipertahankan oleh Wisma Putra. Namun apakah kita pernah berfikir bahawa wilayah yang merangkumi rumah api yang sedang ditadbir dan dikawal selia oleh Maritime and Port Authority of Singapore (MPA) dengan izin ini boleh jatuh ke tangan Singapura bersandarkan kepada prinsip prescription dan effective control Singapura ke atas wilayah berkenaan ketika ini.
Itu asas yang wajar diteliti bersama kerana kita tidak rela kedaulatan kita akan terus dirobek-robek. Dalam perkara ini, Wisma Putra disarankan oleh pakar-pakar kita supaya merundingkan semula perjanjian yang berusia lebih 100 tahun ini yang ditandatangani oleh Sultan Ibrahim dan Sir James Alexander Sweetenham. Semoga dengan cara ini, hak kedaulatan terhadap Pulau Pisang ini dapat dijamin sepenuhnya.
Tuan Yang di-Pertua, berikutnya adalah berkenaan dengan kebajikan kepada rakyat di peringkat bawah terutamanya kepada peneroka FELDA yang merata di seluruh Malaysia.
Tuan Sim Chee Keong - Bukit Mertajam
Sedikit sahaja lagi.
Tuan Ahmad Fadhli bin Shaari - Pasir Mas
Kita berterima kasih kerajaan telah memberikan dan sudi menghapus kira dan memberikan satu jumlah yang cukup besar sehingga peneroka-peneroka FELDA terlepas daripada hutang mereka sebelum daripada ini. Ini sumbangan yang cukup baik kepada peneroka FELDA dan ini satu perkara yang
Tuan Ahmad Fadhli bin Shaari - Pasir Mas
sepatutnya diberikan ucapan terima kasih oleh peneroka FELDA di mana kerajaan bersama dengan hati dan rakyat peneroka FELDA.
Tuan Sim Chee Keong - Bukit Mertajam
Yang Berhormat.
Tuan Ahmad Fadhli bin Shaari - Pasir Mas
Namun, dalam masa yang sama, apakah perancangan untuk masa hadapan yang sedang ditetapkan oleh kerajaan untuk peneroka FELDA pada hari ini yang masih lagi terawang-awang dalam menentukan hala tuju mereka terutama untuk generasi yang kedua?
FELDA ialah merupakan harta karun milik negara. Maka, bagaimanakah kerajaan menentukan perjalanan selepas daripada ini, selepas kerajaan memberikan hadiah yang paling besar untuk peneroka FELDA? Silakan, Yang Berhormat Bukit Mertajam.
Tuan Sim Chee Keong - Bukit Mertajam
Terima kasih. Saya hendak puji Yang Berhormat Pasir Mas tadi sebab dia kata kita kena review semula perjanjian-perjanjian lama terutamanya daripada pihak penjajah 100 tahun, 100 lebih tahun.
Ini berkaitan dengan perjanjian bukan hanya tentang kedaulatan negara, reservoir luar negara tetapi berkaitan dengan kedaulatan negara dalam negara kita iaitu antara Penang dengan Kedah. Saya sebenarnya saya rasa orang Kedah dan orang Penang sudah serik tentang tuntutan berulang-ulang Kedah terhadap Penang oleh kerajaan- kerajaan― oleh orang politik.
Jadi, saya harap Malaysia, Pulau Pinang, Kedah sudah termaktub dalam perlembagaan kita sebagai negeri-negeri yang sah di bawah Perlembagaan Persekutuan.
Jadi, tidak timbul lagi isu Kedah hendak tuntut Penang atau Penang hendak tuntut Kedah.
Saya rasa ini patut dihormati oleh semua orang politik.
Sebenarnya rakyat biasa okey sahaja. Penang dan Kedah, kita orang utara, kita berjiran. Orang politik yang suka mencetuskan masalah konon hendak tuntut Pulau Pinang, bayaran dan sebagainya. Ini semua perjanjian zaman kolonial, orang penjajah.
Jadi sekarang, Pulau Pinang dan Kedah berjiran sebagai negeri-negeri di bawah Persekutuan Malaysia ini. Saya harap benda ini kita selesaikan di sini juga, di Parlimen sebab ini berkaitan dengan Perlembagaan Persekutuan. Terima kasih.
Tuan Ahmad Fadhli bin Shaari - Pasir Mas
Terima kasih Yang Berhormat Bukit Mertajam.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Mohd Rashid Hasnon
Minta rumuskan, Yang Berhormat. Masa sudah tamat.
Tuan Ahmad Fadhli bin Shaari - Pasir Mas
Ya, terima kasih. Isu yang disebut tadi saya rasa perlu diselesaikan oleh tokoh-tokoh akademik dan ahli-ahli sejarah dan jangan masukkan dalam ucapan saya. Sebab nanti orang Kedah marah dekat saya, saya tidak pergi ke Kedah. Kalau yang tadi, boleh masukkan dalam ucapan. Terima kasih Yang Berhormat Bukit Mertajam.
Tuan Sim Chee Keong - Bukit Mertajam
Masuk Hansard cukup. Terima kasih.
Tuan Ahmad Fadhli bin Shaari - Pasir Mas
Okey, terima kasih. Tuan Yang di- Pertua, semoga kita terus bersatu hati. Pembangkang, kerajaan tiada beza, terus bekerja untuk negara. Insya-Allah, kita bekerja untuk generasi yang akan datang.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Pasir Mas mohon menyokong usul.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Mohd Rashid Hasnon
Terima kasih Yang Berhormat Pasir Mas atas sokongan tadi.
Ahli-ahli Yang Berhormat, masalahnya ialah bahawa usul Yang Berhormat Jempol sekarang ini terbuka untuk dibahas.
Ahli Yang Berhormat, kita ada senarai pembahas-pembahas. Tadi dimaklumkan Ketua Pembangkang akan memulakannya tetapi atas urusan yang agak― beliau tidak dapat bersama. We change it for tomorrow.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Mohd Rashid Hasnon
Jadi, sekarang ini bermula dengan Yang Berhormat Bagan, 20 minit selaku ketua parti. Kemudian diikuti oleh Yang Berhormat Kuala Nerus, 12 minit, Yang Berhormat Sepang 12 minit, Yang Berhormat Sabak Bernam, Yang Berhormat Subang, Yang Berhormat Hulu Rajang semua 12 minit. Kemudian Yang Berhormat Tuaran 20 minit, ketua parti dan yang terakhir Yang Berhormat Igan 12 minit.
Tuan Lim Guan Eng - Bagan
Bolehkah saya minta tambah 40 minit? Kerana penyokong pun 45 minit. Saya tambah sedikit sebagai ketua parti yang terbesar dalam Parlimen. Boleh tambah sedikit?
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Mohd Rashid Hasnon
Saya ingat kita mulakan dengan 20 minit dahulu, Yang Berhormat. Teruskan.
Tuan Lim Guan Eng - Bagan
Harap boleh tambah. Terima kasih Tuan Yang di- Pertua. Tuan Yang di-Pertua, saya ucapkan terima kasih atas peluang untuk mengambil bahagian dalam menjunjung kasih titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong semasa merasmikan Penggal Kelima, Parlimen Keempat Belas.
Tuanku telah pun menyebut tentang beberapa perkara yang amat penting khususnya salah satu perkara selain daripada kemelesetan ekonomi dan kesan pandemik COVID-19 ialah berkaitan dengan kos sara hidup. Itu adalah suatu perkara yang amat besar di kalangan rakyat. Di sini saya harap bahawa pihak kerajaan bolehlah ambil suatu tindakan ke atas masalah ini.
Ini kerana seperti yang semua sedia maklum, sebelum perang ataupun penaklukan Ukraine oleh Rusia, memang telah wujudnya masalah harga barangan naik.
Kalau kita pergi ke pasar, kita akan lihat bukan sahaja ayam, telur, sayur dan sebagainya semuanya telah naik harga. Untuk peniaga-peniaga, apabila mereka membeli input-input untuk perniagaan mereka baik dalam negeri ataupun diimport, mereka pun menghadapi masalah yang sama.
Akan tetapi, isu kenaikan harga akan jadi lebih meruncing lagi dalam masa tiga bulan atau mungkin enam bulan apabila kesan daripada penaklukan atau perang di Ukraine akan menjadikan bekalan di tempat-tempat tertentu― oleh kerana sekatan ekonomi yang dijalankan oleh Amerika Syarikat ke atas Rusia― akan mengurangkan bekalan yang sedia ada. Ini sekali gus akan menyebabkan kenaikan harga yang lebih runcing. Ini kita boleh lihat apabila harga minyak telah naik lebih USD100 setong dan mungkin dikatakan akan mencecah sampai USD130. Ini sesuatu perkembangan yang membimbangkan.
Dalam perkara ini, kerajaan harus mengambil tindakan yang proaktif untuk menangani masalah ini. Di sini, kami amat kesal bahawa ia tidak diberikan perhatian yang sewajarnya. Kalau kita lihat dalam PRN negeri Johor, selalu disebut tentang kestabilan politik, kestabilan politik yang tentu penting tetapi mungkin lebih penting ialah kestabilan harga. Apakah tindakan untuk memastikan kestabilan harga?
Di sini disyorkan menubuhkan satu dana kestabilan harga, yang lebih penting daripada kestabilan politik, supaya kita dapat mengurangkan dan mengekang kenaikan harga barangan. Saya syorkan bahawa kita berikan dana benih sebanyak RM3 bilion yang kita boleh perolehi daripada cukai makmur yang dikenakan dalam Belanjawan 2022 yang merupakan satu cukai durian runtuh atau windfall tax. Gunakan dana ini untuk dana kestabilan harga supaya kita dapat membantu rakyat dan mengurangkan kesan kenaikan harga yang mungkin naik secara mendadak.
Di samping itu, perlulah kita hentikan kenaikan tarif elektrik ke atas semua perniagaan yang akan menjejaskan 100.6 juta perniagaan yang mana kenaikan dianggar akan naik sehingga 20 peratus untuk perniagaan-perniagaan tertentu.
Kos sara hidup adalah satu isu penting. Kegagalan kerajaan untuk menanganinya saya rasa adalah satu keaiban dan satu perkara yang amat tidak bertanggungjawab oleh sebuah kerajaan yang sepatutnya menjaga rakyat.
Tuan Lim Guan Eng - Bagan
Daripada segi pendapatan, di sini kami dapat banyak permintaan. Sungguh pun kami tahu bahawa KWSP telah pun menolak cadangan untuk membenarkan pencarum- pencarum KWSP mengeluarkan RM10,000 daripada wang caruman mereka tetapi saya harap perkara ini dapat dipertimbangkan semula. Sekurang-kurangnya kalau RM10,000 terlalu banyak, kita boleh benarkan RM5,000. Saya rasa ini amat diperlukan oleh rakyat yang di satu pihak terjejas oleh kenaikan harga barangan dan di pihak lain kekurangan pendapatan. Harap perkara ini boleh diberikan perhatian yang sewajarnya.
Satu lagi perkara yang harus diberikan perhatian ialah berkaitan dengan peluang pekerjaan dan juga kekurangan pekerja. So, itu adalah sesuatu yang amat aneh atau luar biasa dan janggal sekali. Perniagaan membuat aduan tidak cukup pekerja tetapi ada pula cakap peluang pekerjaan tersekat atau terbatas kerana tidak ada gaji yang munasabah.
So, saya harap perkara ini diberikan perhatian khususnya tentang perlunya kita menimbang macam mana boleh memudah cara pengambilan pekerja-pekerja asing yang telah dijanjikan selama ini oleh pihak kerajaan tetapi tidak ada sebarang tindakan langsung.
Kita harus galakkan pengambilan pekerja-pekerja tempatan dengan memberikan insentif gaji sebanyak RM500 supaya mereka dapat gaji yang munasabah dan pada masa yang sama, berikan gaji pengambilan pekerja untuk majikan menggalakkan mereka mengambil pekerja tempatan sebanyak RM300 sebulan untuk tempoh dua tahun.
Perkara ini amat penting kerana kalau kita lihat perkembangan ekonomi di Malaysia, ia tidak berapa menggalakkan. Unjuran ataupun anggaran yang dibuat oleh pihak kerajaan dalam belanjawan sebelum ini semua tersasar, tidak mencapai matlamat yang ditetapkan.
Tuan Lim Guan Eng - Bagan
Contohnya untuk tahun 2020, dianggarkan bahawa ekonomi akan susut sebanyak 5.2 peratus tetapi sebenarnya susut sebanyak 5.6 peratus. Lebih teruk.
Defisit bajet dianggarkan akan naik kepada enam peratus tetapi sebenarnya naik lebih tinggi kepada 6.2 peratus. Kadar pengangguran dianggarkan akan turun kepada 4.2 peratus tetapi sebenarnya lebih tinggi iaitu 4.5 peratus. Itu untuk tahun 2020, keadaan sedemikian di mana semua matlamat atau semua target sasaran yang ditetapkan tidak tercapai, berulang lagi pada tahun 2021.
GDP dianggarkan akan naik sebanyak 7.5 peratus tetapi sebenarnya hanya naik 3.1 peratus. Defisit bajet dianggarkan dapat dikurangkan daripada enam peratus kepada 5.4 peratus tetapi sebaliknya dianggarkan naik lebih tinggi lagi, mungkin sampai tujuh peratus. Kadar pengangguran dianggarkan turun kepada 3.5 peratus tetapi sebenarnya adalah sebanyak 4.3 peratus.
Kalau keadaan ini dibenarkan berterusan sungguhpun pihak kerajaan telah memberikan pakej rangsangan ekonomi sebanyak RM530 bilion. Ini tidak merangkumi Belanjawan 2021 atau 2022 tetapi dengan pakej rangsangan ekonomi yang disuntik dalam ekonomi sebegitu banyak tetapi masih tidak berjaya untuk merangsangkan ekonomi. Ini merupakan satu masalah yang besar.
Untuk menangani masalah ini, kita kena mengakui apakah kesilapan kegagalan yang dilakukan oleh pihak kerajaan, bukan sahaja dalam menguruskan ekonomi tetapi juga daripada segi pandemik COVID-19. Kita lihat kes-kes jangkitan telah hampir mencecah 3.5 juta. Kematian juga hampir naik kepada 33,000. Ini semua hasilnya daripada kegagalan pengurusan dan juga kegagalan oleh pihak kepimpinan.
Jangan salahkan rakyat. Itulah sebabnya, usaha yang dibuat oleh kerajaan untuk mempersalahkan rakyat dengan mengenakan penguatkuasaan dan hukuman yang lebih berat ke atas rakyat. Saya rasa adalah tidak patut dan tidak munasabah sama sekali.
Itulah sebabnya daripada pihak DAP dan saya percaya Pakatan Harapan, kita akan menentang pindaan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit kerana kalau kita hendak sebut tentang langkah-langkah, memang kita boleh berikan sokongan.
Akan tetapi untuk menambahkan hukuman denda kepada setiap individu RM10,000, kepada suatu pertubuhan perbadanan sampai RM1 juta ataupun penalti am
Tuan Lim Guan Eng - Bagan
sampai RM50,000 ataupun penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya. Saya rasa itu adalah sesuatu yang tidak munasabah. Jangan persalahkan rakyat.
Kalau ada silap, silap ini datang daripada kepimpinan khususnya Menteri sendiri.
Macam mana kita boleh persalahkan rakyat tentang kegagalan mematuhi SOP kalau Menteri sendiri tidak melakukannya? Mananya kepimpinan melalui tauladan Menteri yang bertanggungjawab ke atas Quartet Menteri untuk melaksanakan SOP iaitu Yang Berhormat Sembrong sendiri tidak patuhi SOP yang beliau tetapkan dan hanya dikenakan denda RM1,000 untuk dia.
Ini tidak ada kesan langsung, tidak bermakna langsung. Akan tetapi sekarang, kalau dia hendak naikkan kepada RM10,000, untuk beliau RM10,000 pun tidak jadi masalah, RM100,000 pun tidak jadi masalah. Akan tetapi untuk rakyat, RM10,000 adalah satu jumlah yang agak besar dan membimbangkan rakyat. Jangan salahkan rakyat.
Salahkan diri sendiri kerana gagal jalankan tugas dengan baik.
[Tepuk] Saya harap perkara ini boleh diberikan pertimbangan kerana kalau kita tetap persalahkan rakyat, bukan sahaja pandemik COVID-19 tidak dapat diatasi tetapi pemulihan ekonomi pun akan terjejas dan tersekat. Ini kerana kita harus akui hakikatnya, usaha untuk membasmi sama sekali COVID-19 tidak akan berjaya. Kita harus menerima hakikat bahawa kita harus hidup bersama COVID-19. Suka tidak suka, rela tidak rela, mahu tidak mahu. Itu adalah hakikat dan realiti yang kita kena terima. Kita hidup bersama COVID-19, jangan kita tutup lagi ekonomi, jangan kita benarkan ekonomi kita hancur kerana kita hendak basmi sama sekali COVID-19.
Tuan Ahmad Fahmi bin Mohamed Fadzil - Lembah Pantai
Yang Berhormat Bagan.
Tuan Lim Guan Eng - Bagan
Oleh itu kita harap janganlah tolong, janganlah benarkan...
Tuan Ahmad Fahmi bin Mohamed Fadzil - Lembah Pantai
Lembah Pantai.
Terima kasih Yang Berhormat Bagan. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Yang Berhormat Bagan, saya tertarik apabila kita sebut tentang isu antara dua darjat. Kalau kita lihat di Pilihan Raya Negeri Johor contohnya, ada seorang wartawan yang terpaksa apabila berita keluar yang beliau telah dikompaun, barulah pada waktu itu Menteri Kesihatan menyatakan ingin membatalkan saman.
Akan tetapi kalau rakyat biasa mungkin tidak ada peluang untuk hendak viral kan apa yang berlaku kepada mereka. Apa pandangan Yang Berhormat Bagan? Adakah ini satu masalah sebenarnya sehingga Menteri terpaksa membatalkan? Maksudnya ada something is wrong down the line. Jadi ini bukti bahawa kita tidak patut tingkatkan jumlah kompaun itu tetapi tingkatkan pemahaman di kalangan penguat kuasa. Apa pandangan Yang Berhormat Bagan?
Tuan Lim Guan Eng - Bagan
Terima kasih Yang Berhormat Lembah Pantai.
Yang Berhormat Lembah Pantai, saya memang setuju dengan apa yang disebut oleh beliau dan saya pun tidak faham kerana ada banyak pemberita mengapa hanya pemberita daripada Sin Chew sahaja yang kena.
Itulah masalahnya daripada segi penguatkuasaan. Apabila dikuatkuasakan atau dilaksanakan oleh pegawai-pegawai, kadang kala mereka tidak faham atau tidak tahu apa yang mereka patut lakukan. Apabila timbul kekeliruan sedemikian, janganlah gunakan hukuman ataupun penguatkuasaan untuk selesaikan masalah.
Saya rasa kita harus bergantung kepada pendidikan dan kesedaran rakyat.
Mengapa rasa denda boleh selesaikan masalah? Kalau denda boleh selesaikan masalah, saya rasa semua Menteri ini kena denda berjuta-juta ringgit kerana gagal menjalankan ekonomi dengan baik, menyebabkan kematian 33,000 orang, jangkitan 3.5 juta orang.
Adakah mereka akan denda berjuta-juta ringgit? Mungkin untuk sesetengah mereka mampulah. Akan tetapi itu adalah sesuatu kesilapan besar dan kalau ini berlaku, kita tidak boleh harapkan Menteri boleh selesaikan semua kes. Itulah sebabnya saya harap semua Ahli Parlimen boleh bersama-sama. Ini bukan isu politik, itu isu rakyat.
Tuan Lim Guan Eng - Bagan
Kita tidak akan sokong pindaan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit. Tadi ada Yang Berhormat Pasir Mas, dia tidak setuju. Akan tetapi saya harap jangan cakap tidak serupa bikin. Pastikan anda akan menentang dan akan menolak akta ini. Kalau tidak, saya rasa tidak bermakna langsung, tidak ada maruah langsung.
So, di sini penting bahawa kita lihat apakah perkara pokoknya. Perkara pokoknya ialah kegagalan pihak kerajaan. Di sini sekiranya kita hendak hidup bersama COVID-19, kita kena akui bahawa kita kena buka semula ekonomi termasuk membuka sempadan kita. Saya harap perkara ini dapat diberikan pertimbangan supaya kita dapat balik kepada kehidupan asal kita secepat mungkin supaya ekonomi boleh pulih kepada tahap yang sewajarnya.
Sekarang ekonomi kita lebih kecil berbanding dengan akhir tahun 2019 iaitu tahun terakhir Pakatan Harapan memerintah. So sungguhpun sudah lebih dua tahun tetapi ekonomi kita lebih kecil berbanding dengan saiz ekonomi semasa Pakatan Harapan memerintah. Sepatutnya pulih semula tetapi kerana kegagalan sedemikian, gagal dijalankan.
Satu lagi perkara yang harus diberikan perhatian, ini saya hendak sampaikan untuk rakyat dari negeri Johor iaitu cukai. Saya harap bahawa cukai yang dikenakan untuk mereka yang bawa balik wang ke negara khususnya dari Singapura ke Johor. Kita harap, jangan kenakan cukai. Itu satu cukai baharu di bawah Belanjawan 2022. Batalkan cukai ini kerana kita tahu kalau cukai untuk syarikat yang bawa balik wang dari Singapura yang mereka untung di Singapura. Akhirnya esok hari, akan kena juga ke atas individu-individu pekerja-pekerja yang makan gaji di Singapura.
Sebenarnya, pekerja-pekerja yang makan gaji dan bawa balik wang, mereka pun akan dikenakan cukai tetapi kerana bantahan atas bantahan kuat daripada pihak pembangkang, baru dia sebut buat sementara waktu, tidak dikenakan. Hanya syarikat yang bawa wang balik akan dikenakan.
Tuan Lim Guan Eng - Bagan
Akan tetapi, kita tahu ini hanya untuk sementara waktu. Selepas pilihan raya umum, mereka akan kenakan balik. Ini kerana satu negara tidak boleh ada dua sistem pencukaian. Akan dikenakan juga. Itu sebab saya harap batalkan cukai ini. Kalau tidak, biar rakyat Johor buat keputusan pada 12 Mac.
Rasuah. Itu satu perkara yang amat penting kerana kalau kita lihat Transparency International, memang dari segi Indeks Persepsi Rasuah, Malaysia telah merosot ke tangga 62. Antara isu yang dibangkitkan selain daripada isu 1MDB yang akan saya sebut nanti, ialah isu Pesuruhjaya SPRM di mana beliau telah bohong, telah menipu bahawa perdagangan saham yang dia lakukan bukanlah sebagai proksi bagi pihak adiknya. Tidak.
Dia cakap itu saham berjuta-juta ringgit dan berjuta-juta saham bukan untuk dia sendiri, tetapi dibenarkan sebagai proksi oleh adiknya. Ini telah pun disiasat oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia yang mendapati bahawa Pesuruhjaya Tan Sri Azam Baki bohong.
Sebenarnya, dia yang uruskan, yang kawal dan kuasai akaun sahamnya itu.
Bukan dikuasai atau dikawal oleh adiknya sebagai proksi. Bagaimana seorang pesuruhjaya boleh bohong macam ini? Bolehkah beliau berikan satu penjelasan penuh tentang perkara ini dan juga punca dan sumber kewangan yang membolehkan dia mendagangkan atau menjual beli berjuta-juta ringgit punya saham? Itu saya rasa satu perkara berkepentingan awam. Lebih-lebih lagi bila beliau bertugas sebagai Pesuruhjaya SPRM yang sepatutnya melawan penyalahgunaan kuasa tetapi nampaknya beliau sendiri yang lakukan kesalahan sedemikian. Jangan jadi harapkan “pegar jaga padi, sebaliknya pegar makan padi”.
Berkaitan dengan skandal 1MDB, kita harap perkara ini boleh diberikan perhatian yang sewajarnya kerana dalam pendedahan oleh Tim Leissner daripada Goldman Sachs semasa memberi keterangan dalam kes rasuah Roger Ng di Amerika Syarikat, disebutkan bahawa beliau telah pun menggunakan atau menyalahgunakan wang 1MDB untuk urusan peribadinya. Ini termasuk membeli rumah untuk Datuk Rohana di London sebanyak USD10 juta untuk menyelesaikan masalah peribadi antara beliau dengan Datuk Rohana.
Hanya sekarang, apabila pendedahan ini berlaku, barulah rumah di London dibekukan.
Tuan Lim Guan Eng - Bagan
Juga, pendedahan Tim Leissner dalam keterangan di mahkamah, bahawa beliau telah menerima kickbacks, dengan izin, untuk pengeluaran bon Goldman Sachs. Dua kali beliau dapat kickbacks, dengan izin. Kali ketiga tidak dapat kerana wang ini telah disalurkan kepada Yang Berhormat Pekan semasa menjadi Perdana Menteri untuk membolehkan beliau menggunakannya untuk Pilihan Raya Umum ke-13. Beliau juga berjumpa sendiri dengan mantan Perdana Menteri dan berurusan berkali-kali dengan dua orang setiausaha peribadinya. Itu satu perkara yang serius. Itu satu pendedahan baharu.
Kita hendak tahu, adakah SPRM akan menyiasat dan meminta Yang Berhormat Pekan balik kepada SPRM untuk memberikan keterangan tentang perkara ini? Adakah mereka akan memeriksa dan menyiasat Yang Berhormat Pekan? Saya rasa itu satu perkara penting. Jangan hanya siasat yang lain-lain. Watak utama mestilah diberikan keutamaan dan disiasat juga.
Di samping itu, saya pun hendak tanya sekali lagi.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Mohd Rashid Hasnon
Yang Berhormat, minta rumuskan, Yang Berhormat.
Tuan Lim Guan Eng - Bagan
Ya. Saya berucap panjang sedikit.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Mohd Rashid Hasnon
Baik.
Tuan Lim Guan Eng - Bagan
Saya juga minta SPRM lagi atau minta kerajaan menjawab tentang perkara ini. Adakah Pasukan Petugas Khas 1MDB dalam SPRM telah dibubarkan atau pun sumber yang diberikan telah dikurangkan, baik dari segi kewangan atau pun kakitangan? Ini saya rasa sesuatu perkara yang harus diberikan jawapan kerana ada ramai wakil rakyat yang ambil berat tentang skandal ini, di mana ia melibatkan wang sebanyak RM51 bilion yang hangus sama sekali.
Yang Berhormat Menteri Kewangan, Senator Tengku Zafrul, sering menyatakan hutang legasi ini adalah satu mimpi ngeri untuk Malaysia yang harus dibayar dan ditangani. Sekiranya wang ini dapat digunakan untuk rakyat Malaysia, betapa baiknya.
Termasuk juga ada beberapa Ahli Parlimen yang sering menyatakan tentang perkara ini dan harap perkara ini dapatlah diambil tindakan. Termasuk Presiden parti Tuan Yang di- Pertua yang selalu mengingatkan tentang perkara ini. Saya rasa perkara ini harus diberikan perhatian yang sewajarnya. Janganlah kita cuba tutup perkara ini. Saya amat kesal bahawa kita kena bergantung pada DOJ Amerika Syarikat dan kita tidak sendiri secara proaktif menyiasat perkara ini, tetapi hanya secara pasif dan reaktif.
Akhirnya ialah tentang perlunya kita berpegang kepada aspirasi dan juga hasrat mulia perlembagaan Malaysia, di mana perlembagaan Malaysia, Perlembagaan Persekutuan adalah untuk menjaga semua rakyat. Kita harus menghormati prinsip Perlembagaan Persekutuan dan juga menerima, dalam masyarakat majmuk ini, harus saling hormat-menghormati, menjaga antara satu sama lain.
Di sini, saya sekali lagi harap bahawa semua kerajaan negeri, semua pihak boleh menghormati prinsip perlembagaan, di mana dinyatakan bahawa seseorang anak adalah diputuskan, baik dari segi agamanya atau pun penjagaannya, harus diputuskan oleh kedua-dua ibu bapa. Ini pun telah ditetapkan oleh Mahkamah Persekutuan. Oleh itu, saya harap perkara ini dihormati supaya bukan sahaja jaga harmoni rakyat tetapi menghormati asas dan juga syarat-syarat yang ditetapkan dalam Perlembagaan Persekutuan.
Di sini, saya sekali lagi meminta Yang Berhormat Menteri Kewangan pastikan bahawa kita berikan bantuan yang sewajarnya kepada rakyat. Kita jangan hanya bergantung pada MoU, di mana RM45 bilion telah disalurkan. Apa yang diterima rakyat, sebahagian besar daripada MoU, di mana RM45 bilion pun telah diberikan.
Pentingnya bahawa peruntukan yang sewajarnya diberikan kepada sekolah- sekolah. Kita tahu bahawa isu pembinaan sekolah Cina dijadikan isu oleh pihak MCA.
Saya harap mereka harus diberikan peruntukan yang sewajarnya.
Tuan Sanisvara Nethaji Rayer a/l Rajaji - Jelutong
Yang Berhormat.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Mohd Rashid Hasnon
Minta Yang Berhormat— masa sudah tamat ya.
Tuan Lim Guan Eng - Bagan
Sedikit sahaja, sedikit sahaja.
Tuan Sanisvara Nethaji Rayer a/l Rajaji - Jelutong
Sedikit sahaja.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Mohd Rashid Hasnon
Kita kena ikut peraturan.
Tuan Lim Guan Eng - Bagan
Sedikit sahaja. Injury time.
Tuan Sanisvara Nethaji Rayer a/l Rajaji - Jelutong
Saya minta Yang Berhormat Bagan juga untuk menjelaskan kedua-dua isu ini yang telah dibangkitkan oleh Yang Berhormat. Pertamanya, isu-isu berkenaan sekolah dan isu pertama sebelum itu.
Saya juga minta penjelasan, adakah kedua-dua perkara ini adalah perkara-perkara yang perlu diberi perhatian oleh Kerajaan Persekutuan supaya perkara-perkara ini tidak berulang sekali lagi, Yang Berhormat?
Tuan Lim Guan Eng - Bagan
Ringkas sahaja. Kita hanya hormat apa yang ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan dan oleh mahkamah. Kita harap ia dihormati oleh semua pihak. Saya rasa itu sahaja. Kita tidak minta lebih daripada itu. Saya rasa yang rakyat Malaysia mahu ialah kerajaan yang adil dan berikan perhatian kepada isu sebenarnya iaitu kos sara hidup, pendapatan, masa depan anak-anak kita dari segi pendidikan dan juga pekerjaan. Dan yang penting sekali, bagaimana kita boleh hidup lebih senang daripada sekarang. Masa hadapan daripada sekarang. Saya rasa barulah kita boleh pastikan aspirasi negara maju dan makmur yang dinikmati bersama tercapai.
Sekali lagi, saya menyokong Ucapan Titah Diraja dan harap bahawa perkara ini diberikan perhatian. Jangan kita buat pindaan akta yang merugikan rakyat. Biarkan kita jaga rakyat, bukan kenakan hukuman yang lebih kepada rakyat. Kalau tidak― saya sekali lagi menyatakan, tarik balik Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.
Kalau tidak, kita akan menentangnya habis-habisan. Sekian, terima kasih.
[Tepuk]
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Mohd Rashid Hasnon
Terima kasih Yang Berhormat. Seterusnya, saya ingin menjemput Yang Berhormat Kuala Nerus. 12 minit.
Dato’ Dr. Mohd Khairuddin bin Aman Razali - Kuala Nerus
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Alhamdulillah. Wassolatu wassalamu 'ala Rasulillah. Terima kasih kepada Tuan Yang di-Pertua. Saya mulakan dengan firman Allah SWT dalam Surah Fussilat Ayat 34.
[Membaca sepotong ayat Al-Quran] . Maksudnya, “Dan tidaklah sama kebaikan dengan kejahatan. Tolaklah (kejahatan itu) dengan cara yang lebih baik, sehingga orang yang ada rasa permusuhan antara kamu dan dia akan seperti teman yang setia.” Sadaqallahul Azim. Saya ucapkan terima kasih kerana memberikan peluang kepada saya pada hari ini untuk membahaskan titah diraja. Bagi saya, titah tuanku sangat bernas, sangat menarik, banyak pedoman dan juga nasihat yang boleh kita ambil.
Akan tetapi yang paling menarik perhatian saya ialah penutup daripada Titah Diraja yang bagi saya penutup itu adalah seperti yang disebut oleh Al-Quran, [Membaca sepotong ayat Al-Quran], “Penutupnya adalah kasturi”. [Membaca sepotong ayat Al- Quran] “Maka, pada yang demikian itu, hendaklah berlumba-lumba orang yang mahu berlumba”. Saya katakan sebagai kasturi atau penutup yang baik kerana melihat pada pantun yang disebut atau dititahkan oleh Tuanku iaitu:
Busana tradisi kain bersulam, Warnanya jingga berawan larat, Cukuplah berpolitik siang dan malam, Fokuskan menjaga kepentingan rakyat, Titah dijunjung perpaduan disulam, Itulah perilaku budiman si wakil rakyat.
Dato’ Dr. Mohd Khairuddin bin Aman Razali - Kuala Nerus
Bagi saya, pantun ini sangat bermakna kerana menggariskan kepada kita suatu dasar berpolitik yang patut diikut oleh semua orang-orang politik, terutama wakil rakyat.
Khususnya ketika mana kita berada di Parlimen dan ketika berhadapan dengan pilihan raya baik yang kecil, mahupun negeri mahupun yang umum. Bagi saya, inilah ia yang dikatakan sebagai politik matang, politik sejahtera dan politik damai. Ini kerana kalau kita melihat konsep politik, politik adalah seni. Seni dalam berunding.
Seni berunding di kala mana kita bertelingkah. Tentu sahaja pelbagai pihak yang ada pelbagai parti mempunyai pelbagai pendapat dan juga pandangan. Disebut dalam Al- Quran, [Membaca sepotong ayat Al-Quran] “Setiap parti, setiap golongan, setiap kelompok berbangga dengan apa yang ia ada”. Ia boleh mencetuskan taasub kepada parti masing-masing hingga kita menenggelamkan kebenaran dan mengangkat kebatilan.
Akan tetapi kalau kita mempunyai dasar yang jelas ketika berpolitik. Berpolitik untuk secara matang, damai dan sejahtera, insya-Allah, apa sahaja yang kita bincangkan, kita bertelingkah kan, akhirnya memberi kebaikan kepada rakyat. Oleh sebab itu, saya merasakan bahawa perlu kita gariskan politik matang ini. Bagi pihak parti saya, parti PAS, kita mengemukakan budaya politik matang sejahtera (BPMS) sejak bulan April 2016 lagi.
Dengan budaya itulah, kita akhirnya merundingkan perpaduan dengan pelbagai parti, termasuklah parti UMNO, Barisan Nasional dan juga parti BERSATU dan sebahagian mereka di dalam PKR dan akan membentuk kerajaan baharu pada hari ini.
Saya gariskan bahawa politik matang ini perlu kita dasarkan tiga perkara. Pertama sekali, politik mesti bermatlamatkan kepentingan rakyat. Bukan kepentingan peribadi atau kepentingan kelompok. Berbincang untuk mencari penyelesaian untuk rakyat dengan cara yang harmoni, cara yang bijak, cara yang berakal, tidak ada emosi, tidak ada kebencian dan hanya kasih dan juga sayang.
Oleh sebab itulah kecaman peribadi dalam konteks politik bukan suatu yang baik.
Membakar jambatan persaudaraan, membakar hubungan kepartian dan sedangkan barangkali dalam banyak keadaan kita perlu kembali bersatu. Bersatu selepas pasca PRU, sebagai contoh.
Saya sebutkan banyak kali bahawa dalam apa keadaan sekalipun kita bertelingkah, ketika pilihan raya, kempen secara sihat perlu kita laksanakan dan kita adakan. Ini kerana kita mungkin akan bersama lagi di kala mana kita berakhirnya pilihan raya. Perbincangan, kesatuan untuk kita bersama untuk dengan rakyat pasti akan berlaku.
Oleh sebab itulah, kecaman peribadi tidak patut menjadi dasar dalam berpolitik.
Termasuklah bila kita bincang tentang kes-kes mahkamah, sebagai contoh. Kita balik kepada kaedah yang diajar oleh Islam yang dipanggil bara’atul asil, dengan maksud setiap orang itu tidak bersalah hingga dibuktikan sebaliknya. Jika ada sebarang kes di mahkamah, biarkan mahkamah memutuskan. Bukan kita menjadi hakim. Bukan media menjadi hakim. Biarkan mahkamah menjadi hakim, seseorang tidak bersalah hingga dibuktikan sebaliknya. Kalau itulah yang kita laksanakan, insya-Allah, kita boleh membawa satu politik yang damai, politik yang aman dan tenteram. Insya-Allah. Kedua, politik mesti berdasarkan kebenaran, bukannya kebatilan. Bukannya mencipta pelbagai persepsi, mencipta fitnah, perkara yang tidak wujud diada-adakan atas nama memenangi pilihan raya dan sebagainya. Ini kerana Al-Quran mengajar kepada kita dalam Surah Al-Mumtahanah sebagai contoh, bai’ah para wanita dengan Nabi Muhammad SAW, Al Quran bercerita.
Antaranya, [Membaca sepotong ayat Al-Quran] “Jangan bawa datang berita fitnah, tidak betul, tidak tepat hanya untuk merosakkan mana-mana pihak”. Ini adalah kaedah yang diajar oleh Islam. Begitu juga dengan politik persaudaraan. Dalam Surah Al- Hujurat, Allah SWT bercerita konsep [Membaca sepotong ayat Al-Quran] . “Ini adalah persaudaraan kemanusiaan dengan semua umat manusia”, dan Allah SWT khususkan lagi pula, [Membaca sepotong ayat Al-Quran] “Orang beriman adalah orang-orang yang benar-benar bersaudara”.
Oleh sebab itulah, kata-kata Sayidina Ali Radiallahu Taala Anhu sangat patut dijadikan pedoman.
[Bercakap dalam bahasa Arab] “Sayang kepada orang yang kamu sayang seadanya sahaja. Ini kerana barangkali orang yang kamu sayang menjadi musuh
Dato’ Dr. Mohd Khairuddin bin Aman Razali - Kuala Nerus
kamu suatu hari nanti”*.
[Bercakap dalam bahasa Arab]* “Benci kepada orang yang kamu benci seadanya saja. Bimbang suatu hari nanti, orang yang kamu benci itu menjadi kekasih kamu pada suatu hari nanti”. Inilah kaedah.
Hari ini kita lihat parti boleh berubah. Hari ini si ‘A’ masuk parti ‘B’. Parti ‘B’ masuk parti ‘A’, lompat melompat dan sebagainya. Parti ‘A’ berpakat dengan parti ‘B’ dan ‘B’ berpecah dengan ‘A’ dan sebagainya. Akan tetapi itulah politik. Seorang musuh menjadi rakan pada hari esok. Seorang rakan hari ini menjadi musuh pada hari esok. Maka, untuk itulah kita berpada-pada berpolitik untuk menjaga persaudaraan hanya untuk kebaikan dan kemaslahatan rakyat negara kita, Malaysia yang kita sayang. Itu yang pertama.
Kedua, apabila mana kita bincang sedikit tentang kerajaan hari ini yang bawa satu kaedah Keluarga Malaysia. Antara anggota keluarga yang sangat penting untuk kita berikan hak dan jaga ialah wanita. Saya bawa pada hari ini suatu perkara yang saya harap mendapat perhatian kerajaan dan semua rakan saya dalam kalangan Ahli-ahli Parlimen iaitu diberikan penghormatan kepada wanita untuk mereka mendapat cuti kerana berlaku kematian kepada suami yang dipanggil sebagai berkabung atau istilah bahasa Arab, edah.
Edah perempuan yang kematian suami yang Allah SWT sebutkan di dalam Al- Quran, [Membaca sepotong ayat Al-Quran] Maksudnya, “Orang-orang yang meninggalkan isteri, dia mati tinggalkan isteri, isteri kena tunggu selama empat bulan 10 hari.” Dengan maksud, berikan hak mereka untuk menenangkan diri. Tempoh yang panjang, empat bulan 10 hari. Kita mungkin tidak mampu untuk buat sepenuhnya empat bulan 10 hari melibatkan orang-orang yang bekerja.
Akan tetapi jika kerajaan boleh peruntukkan sebahagian cuti diberikan kepada para wanita yang kematian suami ini untuk mereka menenangkan sedikit hati dan perasaan mereka, ada anak-anak yang perlu diselesaikan permasalahan mereka. Ada hukum-hakam pusaka yang perlu diselesaikan. Sebulan cuti yang kita beri, paling kurang meredakan mereka, di samping mereka menghabiskan idah mereka selama empat bulan 10 hari. Ini telah dibuat oleh kerajaan di Kelantan dan Kerajaan Terengganu. Diberikan hampir 30 hari.
Kelantan berikan 27 hari cuti dengan sedikit bantuan dan juga sumbangan kewangan yang dengan nilai 27 hari dan Terengganu memberikan 30 hari cuti untuk wanita seumpama ini. Maka, kalau kita boleh kembangkan lagi, saya mengharap di peringkat Persekutuan, juga di peringkat Persekutuan, saya melihat Yang Berhormat Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, selalu menyebut perkara ini dan kita harap ia mendapat respons kerajaan untuk sama-sama kita berikan hak kepada wanita yang kita sayang. Itu yang kedua.
Dato’ Dr. Mohd Khairuddin bin Aman Razali - Kuala Nerus
Ketiga, saya hendak bincang sedikit tentang hari ini anugerah Allah SWT untuk negara kita namanya Malaysia iaitu sawit, sawit anugerah Tuhan. Pada hari ini harga sawit harga tertinggi menjangkau RM6,700, sangat jauh beza. Berbanding dahulu hanya sekitar RM2,000 sahaja menyebabkan pekebun-pekebun kecil yang seramai 500,000 orang dengan keluarga mereka yang hampir tiga juta orang berhadapan dengan keadaan di bawah paras kemiskinan.
Akan tetapi dengan kenaikan harga pada hari ini yang begitu tinggi, mereka mendapat income yang besar daripada hanya sekitar RM250 per tan hingga RM300 per tan untuk BTS (buah tandan segar), pada hari ini dengan harga RM1,400, mengeluarkan orang-orang kampung yang dikatakan sebagai pekebun kecil ini daripada garis kemiskinan. Ini adalah nikmat yang diberikan oleh Allah SWT, sawit anugerah Tuhan.
Sehinggakan kita lihat sebuah anak syarikat Kerajaan Negeri Terengganu, TDM telah berjaya mencatatkan keuntungan besar daripada kenaikan harga sawit ini di mana keuntungan yang mereka peroleh sekitar – untuk sawit sahaja ataupun untuk perladangan, sebanyak RM46.8 juta. Ini yang dinikmati oleh Kerajaan Negeri Terengganu. Maka, saya yakin bahawa banyak lagi syarikat yang besar-besar termasuk juga dengan Tabung Haji yang mempunyai plantation mereka sendiri dan syarikat-syarikat
Dato’ Dr. Mohd Khairuddin bin Aman Razali - Kuala Nerus
yang besar di negara kita mendapat keuntungan berlipat kali ganda hasil kenaikan harga sawit dan mereka memberi income kepada kerajaan menerusi cukai dan sebagainya.
Akan tetapi, dalam masa yang sama saya melihat bahawa kementerian KPPK perlu bawa semua syarikat yang untung besar ini dibawa sebagai keuntungan mereka dalam bentuk CSR. Dikumpulkan CSR mereka menerusi satu tabung untuk kebajikan rakyat Malaysia. Saya pernah mencadangkan dahulu untuk penubuhan sebuah yayasan dipanggil Yayasan Agrikomoditi. Saya ingin mendapat penjelasan daripada kementerian, apakah kesinambungan kepada cadangan Yayasan Agrikomoditi yang bertujuan untuk memastikan bahawa antaranya, sebahagian dana yang ada menerusi sawit ini dapat disalurkan kepada orang yang memerlukan di kalangan rakyat Malaysia.
Itulah perkara yang sempat saya sampaikan dalam masa yang singkat pada hari ini. Alangkah baik kalau diberikan peluang sampai setengah jam untuk menceritakan banyak lagi perkara yang boleh kita kongsikan. Terima kasih kepada Tuan Yang di-Pertua, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Mohd Rashid Hasnon
Waalaikumusalam, terima kasih Yang Berhormat Kuala Nerus. Seterusnya saya menjemput Yang Berhormat Sepang, 12 minit.
Tuan Mohamed Hanipa bin Maidin - Sepang
Terima kasih kepada Tuan Yang di-Pertua kerana membenarkan saya turut sama dalam berbahas Titah Diraja ini.
Tuan Yang di-Pertua, saya mengucapkan tahniah kepada pihak kerajaan kerana berjaya membentangkan Titah Diraja ini. Walaupun saya rasa agak lucu kerana sekarang ini dalam Parlimen ini, pihak-pihak yang bergabung dalam kesatuan ini yang membentuk kerajaan sekarang ini, di Parlimen ini mereka nampaknya bersatu. Akan tetapi di Johor, mereka sedang bergaduh sesama mereka mendedahkan bahawa parti ‘A’, parti gabungan mereka tidak boleh dipercayai dan sebagainya. Jadi, ini mungkin keanehan dalam politik Malaysia. Itu yang pertama.
Kedua, saya ingin menyentuh tentang isu rasuah yang dibangkitkan dalam Titah Diraja ini iaitu di perenggan 74, di mana dalam ucapan ini dikatakan bahawa mungkin boleh saya bacakan di perenggan 74, “Dalam membina sebuah Negara Bangsa yang telus dan berintegriti, Beta memandang serius tentang isu rasuah yang berlaku. Beta percaya kerajaan sedang melaksanakan dasar dan inisiatif pelan anti-rasuah...” dan seterusnya.
Tuan Yang di-Pertua, kita semua mungkin telah membaca apa yang dilaporkan oleh media berkenaan dengan satu perbicaraan di Amerika Syarikat, di mahkamah di New York yang melibatkan seorang warganegara Malaysia yang bernama Roger Ng yang pernah menjawat jawatan dalam sebuah bank pelaburan iaitu Goldman Sachs.
Dalam perbicaraan itu, antara saksi yang dipanggil ialah mantan bos dia iaitu seorang ahli dari Jerman, Tim Leissner yang dia mendedahkan antara lain bahawa apabila dia ingin membuat satu perniagaan di Malaysia ini dalam urusan 1MDB ini, dia terpaksa merasuah ramai ahli politik dalam kerajaan pada masa itu. Jadi untuk melaksanakan perniagaan di Malaysia, dia perlu melakukan rasuah. Rasuahnya bukan melibatkan jutaan, tetapi bilion. Jadi, saya merasakan bahawa rasuah ini bukan sahaja kita boleh menuturkan di bibir, tetapi apa yang ingin kita lihat ialah pelaksanaannya.
Saya ingin bertanya kepada pihak kerajaan bahawa baru-baru ini ada seorang mantan CEO Astro yang dipanggil oleh SPRM untuk disiasat dan disiasat selama lapan jam. Ini kerana dia dikatakan terlibat mengadakan hubungan dengan salah seorang saksi dalam kes Roger Ng itu yang mana hasil daripada evidence itu dikatakan bahawa dia ada meminta supaya diberikan hadiah lebih kurang USD10 juta untuk membeli apartment ataupun membelikan rumah pangsapuri di London.
Saya ingin bertanya kepada pihak kerajaan, ada orang minta saya bertanyakan soalan ini. SPRM telah soal siasat, pertama saya hendak tanya, adakah menyiasat mama- mana pihak? Walaupun saya setuju pihak SPRM mengambil inisiatif menyiasat mantan
Tuan Mohamed Hanipa bin Maidin - Sepang
CEO Astro ini, tetapi saya ingin bertanya, adakah menyiasat seseorang itu sehingga lapan jam adalah satu prosedur yang memang dibenarkan ataupun menjadi saya SOP pihak SPRM?
Kita mungkin pernah mendengar bagaimana berlakunya tragedi kematian Teoh Beng Hock dan juga Ahmad Sarbini sebelum ini. Jadi saya ingin bertanya, apakah SOP menyiasat seseorang itu sehingga lapan jam ini adalah satu yang patut kita teruskan?
Walaupun saya mungkin suka disiasat itu, orang-orang itu di siasat, tetapi saya juga dipandu oleh ajaran agama saya iaitu Al-Quran, dalam Surah Al-Ma'idah ayat nombor lapan, [Membaca sepotong ayat Al-Quran] , “Jangan kerana kita benci kepada sesuatu orang, menyebabkan kita berlaku tidak adil”. Jadi dalam Islam ini Tuan Yang di-Pertua, dia menganjurkan kepada absolute justice, di mana walaupun dengan musuh kita sekalipun, kita kena berlaku adil. Itu ajaran Islam.
Tuan Yang di-Pertua, mengenai SPRM sudah siasat, satu hal. Saya hendak tanya, adakah pihak JAKIM juga akan menyiasat mantan CEO Astro ini kerana mengadakan hubungan luar nikah dengan seorang yang bukan suami dia? Kita lihat kalau orang-orang yang berstatus rendah di Malaysia ini, orang-orang biasa, biasanya kalau ada melakukan hubungan di luar nikah ini...
Tuan Sanisvara Nethaji Rayer a/l Rajaji - Jelutong
Yang Berhormat...
Tuan Mohamed Hanipa bin Maidin - Sepang
Kalau orang bawah ini biasanya senang disiasat.
Tuan Sanisvara Nethaji Rayer a/l Rajaji - Jelutong
Yang Berhormat.
Tuan Mohamed Hanipa bin Maidin - Sepang
Sekejap, sekejap, bagi sekejap.
Akan tetapi apabila melibatkan seorang yang dikatakan orang-orang yang bertaraf tinggi, mengapakah pihak JAKIM sehingga kini tidak dengar akan siasat orang seperti ini. Saya hendak tanya, adakah JAKIM akan menyiasat atau tidak? Silakan Yang Berhormat.
Tuan Sanisvara Nethaji Rayer a/l Rajaji - Jelutong
Yang Berhormat, saya hendak tanya komen Yang Berhormat berkenaan dengan siasatan SPRM kepada bekas CEO yang telah dipanggil untuk dirakam percakapan. Apakah pendapat Yang Berhormat berkenaan dengan isu MITRA di mana terang-terang kita telah bongkarkan di Dewan yang mulia ini penglibatan Ketua MIC, Tan Sri Dato' Sri Dr. SA. Vigneswaran dan beberapa orang pemimpin MIC yang kita lihat tidak dipanggil untuk dirakam percakapan. Adakah apa-apa double standard yang diamalkan oleh pihak SPRM?
Tuan Mohamed Hanipa bin Maidin - Sepang
Saya rasa semua orang tahu bahawa di Malaysia ini memang amalan double standard ini sedang berlaku dan telah pun berlaku. Jadi, saya tidak pelik kalau sekiranya amalan itu berlaku.
Tuan Sanisvara Nethaji Rayer a/l Rajaji - Jelutong
Persoalan saya, adakah SPRM takut dengan MIC atau parti-parti politik seperti UMNO, MCA dan MIC?
Tuan Mohamed Hanipa bin Maidin - Sepang
Apabila berlakunya double standard ini, kita boleh membuat pelbagai andaian. Jadi saya rasa saya tidak mahu jawab soalan itu, tetapi saya rasa kita boleh membuat andaian apa yang berlaku.
Tuan Sivakumar Varatharaju Naidu - Batu Gajah
Yang Berhormat Sepang, Yang Berhormat Sepang. Berbalik kepada isu berkaitan dengan MITRA...
Tuan Mohamed Hanipa bin Maidin - Sepang
Sekejap, saya tinggal lagi empat minit.
Tuan Sivakumar Varatharaju Naidu - Batu Gajah
Oh! Ya. Boleh sikit?
Tuan Mohamed Hanipa bin Maidin - Sepang
Bagi sikit sahaja.
Tuan Sivakumar Varatharaju Naidu - Batu Gajah
Berhubung dengan MITRA seperti mana yang disebutkan oleh Yang Berhormat Jelutong tadi, ini bukan sahaja berkaitan dengan pemimpin-pemimpin MIC, tetapi dalam beberapa bulan yang lepas, ramai yang telah ditangkap di bawah SPRM, siasatan untuk MITRA. Akan tetapi sehingga hari ini, kita tidak tahu apakah perkembangan berkaitan dengan kes ini. Kenapa perkara ini boleh berlaku?
Tuan Mohamed Hanipa bin Maidin - Sepang
Tambah tentang SPRM. Kita tahu bahawa telah menjadi pengetahuan umum, dalam kes SPRM ini Tuan Yang di-Pertua, bukan sahaja melibatkan orang-orang tetapi bos nombor satu SPRM pun menjadi masalah. Jadi, saya rasa kalau kita hendak tanya kenapa tidak kenapa, kita tanya kenapakah daripada segi bos mereka sendiri pun menjadi masalah. Jadi, saya rasa itu semua kita boleh— terserah pada rakyat. Suruh rakyat negeri Johor untuk membuat pertimbanganlah.
Seterusnya saya ingin bertanya tentang hak asasi manusia yang telah pun dinyatakan dalam perenggan 72 ucapan ini, ucapan Titah Diraja iaitu Malaysia telah terpilih untuk kali ketiga menganggotai Majlis Hak Asasi Manusia, Persatuan Bangsa- bangsa Bersatu untuk penggal 2022 hingga 2024. Alhamdulillah, nampaknya kita berbangga kerana kita telah terpilih untuk kali ketiga untuk menganggotai Majlis Hak Asasi Manusia.
Kalau kita telah pun mengatakan kita berbangga, saya hendak tanya kenapakah kita harus meneruskan pendakwaan ke atas orang kartunis seperti saudara Fahmi Reza.
Ini seorang yang patut kita banggakan kerana mempunyai bakat. Dia seperti Zunar ini seorang yang patut kita banggakan. Ini ialah rakyat Malaysia yang berbakat. Kenapakah kita harus dakwa dia? Sepatutnya kita boleh memberikan award kepada dia. Saya harap kerajaan harus menarik balik pendakwaan ke atas saudara Fahmi Reza.
Seterusnya saya hendak tanya kenapa kerajaan tentang para 67 dan 68. Di mana dinyatakan antara lain, “Mutakhir ini Beta melihat timbulnya pelbagai fahaman dan aliran pemikiran yang mengelirukan masyarakat Islam dan juga usaha menormalisasikan budaya yang bercanggah dengan adat dan amalan-amalan negara ini...”.
Tuan Yang di-Pertua, bagi saya ajaran yang bertentangan dengan Islam ini kadang-kadang— ataupun aliran yang fahaman aliran yang mengelirukan ini, jangan kita lihat kepada satu benda yang terlalu kecil. Sebenarnya bagi saya berlaku juga kekeliruan dalam negara ini apabila orang-orang yang boleh dikatakan terlibat dengan gerakan Islam, parti Islam boleh menyokong rasuah, boleh menyokong sebagai contoh Langkah Sheraton, menyokong pengkhianatan.
Ini juga mengelirukan orang Islam. Begitu juga berlakunya kes di mana apabila ada seorang bapa yang telah pun memukul isterinya sehingga 23 jahitan lepas itu masuk Islam dan kemudiannya ibunya telah dilarang untuk mengambil hak penjagaan anak. Ini juga mengelirukan orang Islam. Kerana apakah orang Islam bila dia pukul orang lepas itu dia masuk Islam seolah-olah dia telah escape liability, dengan izin? Jadi, ini semua bagi saya perkara-perkara yang mengelirukan orang Islam.
Jadi, saya meminta supaya kerajaan jangan kita sibuk bercakap tentang mengelirukan Islam daripada segi soal nampak soal-soal yang kecil sahaja tetapi kalau kita bercakap tentang mengelirukan Islam kita juga harus melihat bagaimana tindak tanduk ahli politik khususnya ahli politik daripada parti Islam yang terang-terang boleh menyokong rasuah, menyokong salah guna kuasa, boleh menyokong benda-benda yang tidak betul. Jadi, saya harap kerajaan mengambil juga tindakan ke atas mereka seperti ini yang telah mengelirukan Islam dan orang penting sepatut ini.
Tadi kita dengar daripada Yang Berhormat Kuala Nerus bercakap ayat Al-Quran dan sebagainya tetapi dipecat ataupun dibuang daripada Majlis Syura Ulama. Jadi bercakap tentang ayat Al-Quran ini cair tetapi daripada segi realitinya mereka inilah yang sebenarnya yang menjual ayat-ayat Al-Quran. Sekian, terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Mohd Rashid Hasnon
Terima kasih Yang Berhormat Sepang. Seterusnya saya ingin menjemput Yang Berhormat Sabak Bernam, 12 minit.
Dato’ Haji Mohd Fasiah bin Mohd Fakeh - Sabak Bernam
Bismillahi Rahmani Rahim, Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih kepada Tuan Yang di-Pertua yang telah memberi kebenaran kepada saya untuk membahaskan Menjunjung Kasih Titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dalam Mesyuarat Pertama, Penggal Kelima, Parlimen Keempat Belas.
Tuan Yang di-Pertua, saya ingin merapatkan setinggi kesyukuran kepada Allah SWT kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya, ia saya dapat berucap menjunjung kasih Titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan yang mulia ini. Saya berazam dan beriltizam untuk meneruskan perjuangan dan khidmat bakti kepada rakyat khususnya rakyat di Parlimen Sabak Bernam tanpa mengira agama, bangsa dan fahaman politik.
Saya memulakan ucapan ini dengan memetik sepotong ayat suci daripada Al- Quran Al-Karim supaya berkat yang bermaksud, “Katakanlah wahai Tuhan yang mempunyai kuasa memerintah, Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki dan Engkaulah yang merampas kuasa pemerintahan daripada sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkau memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki dan Engkau menghinakan sesiapa yang Engkau kehendaki. Di tangan Engkaulah sahaja adanya kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Berkuasa ke atas setiap sesuatu...”. Ayat ke-26 daripada Surah Al-Imran yang saya baru bacakan maksud tadi memberikan peringatan kepada diri saya dan kita semua bahawa kuasa pemerintahan hanyalah dari Allah dan bersifat sementara sahaja. Sebagai pemimpin kita diingatkan bahawa kuasa ini adalah amanah dan tanggungjawab yang akan dipersoalkan di kemudian hari kelak.
Pertama, saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob, Perdana Menteri Malaysia yang kesembilan yang telah menerajui negara dan memimpin Keluarga Malaysia ini secara lebih inklusif dan merentasi sempadan agama, bangsa dan kaum serta budaya dan fahaman politik dengan jayanya semenjak lapan bulan lalu setelah dilantik sebagai Perdana Menteri. Walaupun menghadapi pelbagai cabaran terutamanya pandemik COVID-19 yang gelombang politik dan ekonomi yang terus mencabar serta musibah bencana banjir baru-baru ini.
Kedua, saya ingin merakamkan penghargaan kepada barisan Kabinet yang terdiri daripada Jemaah Menteri dan jentera kerajaan, semua anggota barisan hadapan, frontliner serta penjawat awam yang sentiasa dan terus komited menjaga keamanan dan keselamatan negara serta memaju dan membangunkan negara bagi memastikan negara terus stabil daripada segi politik, ekonomi dan sosial. Sebagai Kerajaan Keluarga Malaysia, saya yang bertanggungjawab, kerajaan hari ini jelas beriltizam Keluarga Malaysia terus hidup dengan harmoni dan sejahtera, berusaha meningkatkan pendapatan rakyat dan berikhtiar untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat.
Saya ingin juga mengucapkan tahniah kepada Majlis Pemulihan Nasional (MPN) dan yakin bahawa Pelan Pemulihan Negara (PPN) akan dapat mencapai sasaran dan matlamat dalam jangka waktu yang ditetapkan lebih awal khususnya dalam merangka pelan pemulihan daripada pandemik COVID-19 kepada endemik COVID-19 dan seterusnya memudah cara pembukaan sektor ekonomi dan sosial dengan lancar dan berkesan. Terlebih dahulu patik menjunjung kasih Titah Seri Paduka Baginda Yang di- Pertuan Agong.
Seterusnya Tuanku telah menyentuh berhubung dengan pemulihan ekonomi negara untuk kesejahteraan rakyat melalui lapan siri pakej bantuan dan rangsangan ekonomi yang mengunjurkan KDNK negara akan terus berkembang daripada 5.5 kepada 6.5.
Tuan Yang di-Pertua, akhirnya Tuanku menzahirkan penghargaan ke atas taat setia dan sumbangan ikhlas semua petugas barisan hadapan negara, anggota perkhidmatan awam, anggota tentera, Polis Diraja Malaysia serta agensi kerajaan yang
Dato’ Haji Mohd Fasiah bin Mohd Fakeh - Sabak Bernam
telah mencurah bakti sehingga menjadikan Malaysia sebuah negara yang aman dan makmur.
Sebelum mengakhiri ucapan Tuanku telah berkenan memberikan dua rangkap pantun nasihat yang mencuit hati Ahli-ahli Yang Berhormat iaitu mengurangkan berpolitik tetapi berbakti kepada rakyat. Saranan ini tepat sekali kerana keghairahan berpolitik telah menyebabkan ketaksuban kepada parti tertentu dan menyebabkan perpecahan sehingga boleh mengabaikan tugas utama untuk membela rakyat dan membangunkan negara.
Malah boleh menjejaskan perpaduan nasional sehingga kerajaan terpaksa memperkenalkan wawasan dan pendekatan Keluarga Malaysia bagi keharmonian pelbagai kaum di negara ini.
Seterusnya, saya ingin menyentuh tentang Kementerian Kesihatan berhubung dengan COVID-19. Tuanku telah menzahirkan agar kerajaan mengukuhkan strategi dan ketahanan dalam menangani COVID-19. Sehubungan dengan ini, saya ingin menyentuh berhubung dengan pandemik COVID-19, mengimbas kembali kes COVID-19 yang pertama di Malaysia telah disahkan pada 25 Januari 2020.
Saya ingin bertanya untuk mendapatkan ulasan daripada kerajaan, daripada Kementerian Kesihatan mengapakah Malaysia mencatatkan bilangan dan peratusan rakyat negara ini yang dijangkiti COVID-19 ini berbanding jumlah penduduk lebih tinggi berbanding dengan negara-negara jiran seperti Singapura, Indonesia, Thailand, Vietnam dan Filipina? Apakah langkah kerajaan bagi mengurangkan kadar jangkitan di kalangan rakyat negara ini termasuklah mengkaji semula SOP sedia ada supaya lebih berkesan dalam mengawal jangkitan COVID ini.
Dato’ Haji Mohd Fasiah bin Mohd Fakeh - Sabak Bernam
[Dato’ Ramli bin Dato' Mohd Nor (Cameron Highlands) **mempengerusikan Mesyuarat****] Seterusnya saya ingin dapat penjelasan daripada kerajaan, KKM bilangan kematian COVID-19 mengikut peringkat umur kanak-kanak, dewasa dan warga emas serta bilangan warga— kematian COVID-19 ini yang mendapat vaksin dan tidak mendapat vaksin. Nyatakan bilangan kes brought-in-dead (BID) bagi tahun 2020, 2021 dan 2022 bagi penyakit COVID-19.
Berhubung dengan Kementerian Kesihatan ini, saya ingin membangkitkan isu suntikan dos penggalak ataupun booster 3. Pertama, setakat manakah dos penggalak mampu menangani serangan COVID-19 secara berkesan khususnya varian Delta dan Omicron? Kedua, adakah kerajaan bercadang akan mengadakan suntikan booster yang keempat? Seterusnya, apakah kewajaran rakyat terus mendapat suntikan vaksin booster ini? Berapakah bilangan rakyat Malaysia yang telah menerima suntikan vaksin penggalak COVID-19 ini?
Akhirnya berhubung dengan Kementerian Kesihatan, saya ingin menyentuh berhubung dengan MySejahtera. Saya ingin mendapatkan penjelasan masalah orang awam yang telah mengikut saranan TRIIS oleh KKM tetapi apabila telah melaporkan keputusan positif, tetapi MySejahtera mengambil masa yang agak lama untuk menukar status kepada confirmed case berwarna merah. Apakah langkah dan tindakan penambahbaikan yang telah KKM lakukan agar aplikasi MySejahtera ini dapat berfungsi lebih baik terutama ketika kes COVID-19 ini?
Tuan Yang di-Pertua, tentang Kementerian Pendidikan. Tuanku dalam Titah Baginda telah menyentuh berhubung dengan menyokong pembelajaran menerusi pembudayaan amalan dan nilai murni serta persekitaran sekolah yang selamat dan kondusif, mengalu-alukan inisiatif pendekatan “Sekolahku Sejahtera” untuk dilaksanakan ke arah pembentukan kemenjadian murid.
Sehubungan dengan ini, saya ingin menyentuh berhubungan Kementerian Pendidikan. Pertama, saya ingin menyentuh berhubung dengan Program Imunisasi COVID-19 Kanak-kanak (PICKids) yang mereka berumur di antara lima hingga 12 tahun yang dilaksanakan kerajaan bermula tahun ketiga. Saya ingin mendapat penjelasan,
Dato’ Haji Mohd Fasiah bin Mohd Fakeh - Sabak Bernam
setakat manakah sambutan program PICKids ini dan nyatakan bilangan kanak-kanak yang telah divaksin? Apakah langkah kerajaan bagi menangani pelajar yang telah divaksinasi tetapi terus hadir sekolah?
Kedua berhubung KPM ini, saya ingin menyentuh berhubung dengan isu kehadiran dan keciciran murid. COVID-19 telah memberikan kesan yang besar kepada sektor pendidikan apabila lebih ramai pelajar keciciran. Tahun lalu Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu UNICEF melaporkan satu pertiga kanak-kanak di dunia di negara ini membangun tidak mempunyai peluang untuk mendapat pembelajaran secara jarak jauh khususnya melalui radio, televisyen dan internet. Di negara ini, tujuan KPM melaporkan pembelajaran dalam talian mendapati 1.85 juta orang murid tidak mempunyai peranti dan menghadapi masalah akses internet.
Saya ingin mendapat penjelasan daripada KPM. Setakat manakah KPM menangani isu kehadiran dan keciciran pelajar sepanjang PdPR lalu? Adakah KPM bercadang untuk mengkaji semula manual PdPR supaya lebih lengkap dan komprehensif bagi memudahkan guru? Apakah langkah KPM bagi memastikan keciciran pembelajaran tidak terus berlanjutan sehingga berlaku senario generasi keciciran, lost generation? Berapakah bilangan pelajar yang telah berhenti sekolah sejak Ogos 2021 hingga terkini Mac 2022? Apakah langkah kerajaan, KPM bagi meningkatkan kemahiran seni pengajaran pedagogi dalam talian kepada semua guru?
Berhubung dengan KPM ini ketiga, saya ingin menyentuh berhubung dengan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) di mana KPM mendapat peruntukan sebanyak RM300 juta bagi melaksanakan Program Bantuan Awal Persekolahan. Setiap pelajar mendapat bantuan berjumlah RM150 seorang daripada kalangan keluarga isi rumah pendapatan RM3,000 ke bawah. Saya ingin mendapat penjelasan KPM, setakat manakah kerajaan telah mengeluarkan bantuan kepada murid? Apakah langkah kerajaan bagi memastikan proses dan prosedur untuk mendapatkan BAP dan ini tidak menyukarkan untuk menyediakan pelajar dan ibu bapa pelajar?
Tuan Yang di-Pertua, akhirnya saya ingin mengingatkan diri saya dan mengajak Ahli-ahli Yang Berhormat dalam Dewan yang mulia ini supaya sentiasa bersyukur kerana kita dapat hidup dalam negara yang aman dan damai. Marilah kita berganding bahu tanpa mengira agama, bangsa, kaum ataupun aliran parti untuk bersama-sama mempertahankan kedaulatan negara ini daripada segi bentuk pencerobohan dan ancaman terhadap keselamatan dan kedaulatan negara kita.
Akhir kalam sebagai tanda kita mencintai negara ini, marilah perbanyakan doa untuk keselamatan dan kesejahteraan negara kita serta seluruh jelata lebih-lebih lagi ketika kita dilanda pandemik COVID-19 ini. Sekarang ini saya akhiri dengan memetik sepotong ayat Al-Quran Al-Karim yang bermaksud, “Dan (Tuhan berfirman lagi) sekiranya penduduk negeri ini beriman serta bertakwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.” Sekian, terima kasih.
Dato’ Ramli bin Dato' Mohd Nor - Cameron Highlands
Yang Berhormat Subang.
Tuan Wong Chen - Subang
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua kerana memberi peluang kepada saya untuk memberi ucapan menyambut Titah Diraja. Tuan Yang di- Pertua, ada kebarangkalian bahawa ucapan Titah Diraja ini akan menjadi ucapan dasar terakhir bagi Parlimen Keempat Belas ini. Ini adalah kerana kemungkinan besar Pilihan Raya Umum Kelima Belas akan berlaku tahun ini. Ada banyak desas-desus berkata ia akan berlaku pada bulan Jun atau Julai, ada yang kata bulan September.
Sebahagian daripada Ahli Parlimen dalam Dewan ini akan kembali berkhidmat selepas Pilihan Raya Umum Kelima Belas dan ada sebahagian yang akan mengakhiri penggal mereka. Saya sendiri tidak tahu sama ada saya akan dapat atau tidak untuk terus
Tuan Wong Chen - Subang
berkhidmat sebagai seorang Ahli Parlimen. Oleh yang demikian, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk memberi pandangan-pandangan saya demi kepentingan negara dengan izin, to use this occasion to deliver a simple policy farewell speech of sort, just in case. Tuan Yang di-Pertua, sudah hampir sembilan tahun saya berkhidmat sebagai seorang Ahli Parlimen. Pada tahun 2013, saya berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Kelana Jaya dan sejak tahun 2018 sebagai Ahli Parlimen Subang. Saya bermula sebagai Ahli Parlimen pembangkang selama lima tahun. Kemudian 22 bulan sebagai Ahli Parlimen kerajaan dan selepas itu kembali menjadi pembangkang. Saya telah merasai kemenangan, harapan besar, kehampaan dan juga pengkhianatan.
Tuan Yang di-Pertua, politik Malaysia ini macam roller coaster. Saya bertuah kerana dapat merasai masa sebagai Ahli Parlimen kerajaan dan juga sebagai Ahli Parlimen pembangkang. Rupa-rupanya tidak banyak beza pun, hendak jumpa Menteri lebih kurang sama susahlah dan hendak beri pandangan dasar-dasar reformasi tiada yang betul-betul berminat untuk dengar pun.
Oleh itu, ucapan saya ini ucapan terakhir dasarlah adalah ditujukan kepada semua. Daripada berpuluh-puluh dasar reformasi yang penting, ucapan pendek saya ini yang ada cuma 12 minit akan fokus kepada tiga reformasi pada pendapat saya yang terpenting sahaja iaitu gaji untuk rakyat, masalah brain drain dan akhir sekali tentang tadbir urus.
Tuan Yang di-Pertua, saya mulakan dengan isu gaji bagi golongan B40 yang tidak naik-naik setiap tahun. Walaupun sesiapa kerajaan tetapi tidak naik. Kita hidup di negara dan rakyatnya berbilang kaum dan agama. Our diversity diberi penekanan yang kuat oleh semua orang politik. Ada orang Cina yang kaya tetapi terasa hidup mereka tidak adil sebagai second class citizen. Ada jutawan India yang rasa dia dibuli sebagai third class citizen. Ada pula golongan bumiputera elit yang sangat kaya tetapi kononnya membela nasib nelayan serta petani yang miskin. Sungguh hebat sekali pendirian masing-masing dan setiap pendirian ada pula elemen-elemen kebenaran dan ada elemen-elemen kelentong. Akan tetapi apabila isu gaji minimum dikemukakan, tiba-tiba golongan elit sama ada Melayu, Cina atau India secara ajaib dapat menunjukkan satu tahap muhibah yang hebat sekali. Golongan elit dari semua kaum bersatu padu menolak kenaikan gaji minimum.
Tuan Yang di-Pertua, gaji minimum bukannya isu perkauman tetapi isu morality, isu inequality dan isu penindasan kelas atasan terhadap yang miskin. Banyak yang mencadangkan termasuk saya sendiri supaya gaji minimum dinaikkan kepada kadar RM1,500 sebulan.
Tuan Wong Chen - Subang
Namun, saya tahu ini pun tidak mencukupi untuk sebuah keluarga. Dengan tanggungan yang banyak dan kos sara hidup yang tinggi, gaji minimum seharusnya sekurang-kurangnya dapat memberi pendapatan RM2,700 sebulan bagi setiap keluarga untuk menjalani kehidupan yang bermaruah.
Dari segi ekonomi, gaji minimum bukanlah satu solusi jangka panjang. Ia adalah satu jenis wage distortion. Kalau kita benar-benar hendak, dengan izin, market forces to set wages, maka kita perlu mereformasi hak-hak pekerja supaya ia mencapai tahap ILO agar ia seimbang dengan hak-hak pelabur dan pemegang saham. Dari segi impak kepada ekonomi pula, apabila gaji B40 dinaikkan, 90 peratus daripada wang ini akan dikitar balik ke dalam ekonomi tempatan dan ini akan meningkatkan overall economic consumption.
Sebagai bandingan, sekiranya kerajaan cuma membuat dasar-dasar pro-business untuk memenuhi kehendak golongan elit, apa-apa peningkatan harga golongan elit ini akan keluar dari ekonomi tempatan melalui capital flight. Oleh yang demikian, prinsip dasar untuk menaikkan gaji adalah sebagai satu dasar that is both morally correct and also good economics. Adakah kerajaan dan majikan swasta berupaya menanggung kenaikan gaji B40? Jawapannya adalah boleh tetapi ia
Tuan Wong Chen - Subang
harus dilakukan melalui kawalan berperingkat. Di manakah dana untuk membayar kenaikan gaji ini? Kita perlu menstrukturkan semula subsidi. Bukan batal subsidi tetapi membuat konsolidasi dan menukarkan sebahagian subsidi kepada bantuan gaji minimum.
Tuan Yang di-Pertua, pada masa kini, program-program subsidi kerajaan menelan kos RM52 bilion setahun. Malaysia mempunyai 2.6 juta keluarga dalam kategori B40. Jika jumlah subsidi besar RM52 bilion ini dibahagikan sama rata kepada kesemua keluarga B40, ia bersamaan dengan bantuan RM1,600 sebulan kepada setiap keluarga B40. Oleh itu, jika mana-mana kerajaan berpegang kepada alasan bahawa tidak cukup dana untuk menyelesaikan isu gaji minimum ini, kerajaan itu sebenarnya tidak bercakap benar. Dalam bahasa Kelate, duit itu belana, memang banyak.
Ada tidak contoh kerajaan yang berjaya menaikkan gaji minimum tanpa menjejaskan ekonomi? Ada. Kenaikan gaji minimum 7.6 peratus setahun di Brazil pada masa pentadbiran Lula Inacio telah berjaya menolong 10 peratus penduduk Brazil iaitu 20 juta rakyat Brazil keluar daripada kemelut kemiskinan. Dasar di Brazil itu juga diakui sebagai good economics oleh badan-badan kapitalis seperti IMF dan World Bank.
Akan tetapi, sebenarnya kita tidak perlu naik gaji B40 pada kadar seperti Brazil pun. Tidak payah 7.6 peratus. Apa yang kita kena lakukan ialah pastikan kadar CPI campur dua peratus sudah memadai. Dasar ini juga perlu ada sunset clause iaitu selepas lima ke 10 tahun, hak asasi pekerja di bawah piawaian ILO perlu mengambil alih konsep dasar gaji minimum.
Tuan Yang di-Pertua, saya menukar poin sekarang pada dasar reformasi kedua iaitu masalah berkaitan brain drain. Malaysia memang mempunyai satu Human Development Index yang tinggi tetapi terdapat banyak faktor menyebabkan kenapa kita tidak boleh mengatasi middle-income trap.
Setiap tahun kita melahirkan graduan-graduan terbaik daripada segi Human Development Index tetapi ramai yang berpotensi dan berbakat ini pula mengambil keputusan untuk berpindah ke negara lain seperti Singapura. Untuk membawa Malaysia ke tahap fully developed seperti Singapura, Taiwan, Jepun dan South Korea, kita perlu ada dasar yang baik untuk memastikan majoriti besar pelajar terbaik Malaysia memilih untuk belajar dan berkhidmat di Malaysia.
Apa dasar-dasar yang perlu dilakukan? Yang penting ialah peningkatan gaji.
Kalau Singapura menawarkan gaji tiga ke lima kali ganda kepada graduan kita, graduan kita memanglah akan tertarik untuk pindah ke Singapura. Ya, memang ada graduan yang meninggalkan negara kerana isu politik, kebebasan dan hak asasi yang terbantut di Malaysia, sistem merit yang tidak adil di antara kaum dan juga intra-kaum. Semua isu politik ini boleh diatasi sekiranya kita ada azam politik untuk menegakkan keadilan sosial dan keadilan peribadi.
Pada fikiran saya, yang pindah ke negara lain disebabkan politik dan isu merit adalah cuma 30 peratus sahaja. Majoriti 70 peratus bakat Malaysia yang berpindah adalah kerana isu gaji dan wang. Pada perkiraan saya, terdapat lebih kurang 1.2 juta rakyat Malaysia yang berpindah dan bekerja di luar negara. Majoriti mereka mempunyai ijazah dan bertaraf profesional. Kalau purata pendapatan mereka adalah RM15,000 sebulan atau SGD5,000 sahaja sebulan― ini adalah anggaran konservatif, rendah ya― ekonomi dan GDP Malaysia telah kehilangan hasil dan daya produktiviti sebanyak RM216 bilion setahun. Pengutipan hasil cukai pendapatan peribadi itu telah lesap sebanyak RM54 bilion setahun.
Jadi, apakah yang perlu dilakukan untuk menyekat brain drain? Kita boleh kurangkan kadar pemindahan ini sebanyak 30 peratus kalau kita ada sistem merit berdasarkan keperluan sosial tanpa mengira gender, kaum dan agama, laksanakan hak asasi yang baik, jangan menindas dan buli golongan minoriti. Kalau katakan kita buat semua ini, mungkin 30 peratus graduan yang tertarik untuk bekerja di negara lain akan bertukar fikiran dan kekal di Malaysia.
Jadi, yang lebihan 70 peratus ini macam mana pula? Kita perlu pastikan gaji berpatutan. Untuk melakukan ini, kita perlu ada sistem ekonomi yang ditadbir dengan baik.
Tuan Wong Chen - Subang
Ini poin terakhir saya. Saya cuma ada dua minit lagi. Ekonomi Malaysia, Tuan Yang di-Pertua, memesat 40 tahun. Kadar eksport kita meningkat dalam masa 40 tahun itu. Pengaliran FDI pun mantap tetapi unsur-unsur kroni kapitalisme yang bermula 40 tahun dahulu dan rasuah berterusan. Walaupun skandal 1MDB dan PRU-14 telah berlaku semua ini, golongan elit maha kaya dari dua, tiga dekad lalu telah kembali semula untuk menjadi dalang ekonomi kita.
Nampaknya di Malaysia, masalah kroni, rasuah dan salah guna kuasa sudah menjadi satu budaya yang sangat liat untuk dihapuskan. Di arena politik pula, kita telah menyaksikan hujan katak-katak. Badan-badan yang sepatutnya bebas dari pengaruh politik pula jelas menunjukkan pengaruh rasuah dan salah guna kuasa. Jelas sekali, dengan izin, bad behaviour is prevalent beyond politics and is deep inside the entire system of government. Dewan yang mulia ini boleh melakukan beberapa perkara untuk memastikan kita melawan kroni dan rasuah. Pertama, political financing reform perlu disokong oleh semua.
Kedua, setiap Ahli Parlimen perlu mengambil langkah mengamalkan transparensi penuh dalam hal kewangan pejabat masing-masing. Janganlah sekadar membuat ucapan di dalam forum, keluarkan kenyataan media, masuk di dalam social media dan TikTok bahawa kamu menentang rasuah. Semua ini baik tetapi tidak cukup. Kesemua ahli-ahli di dalam Dewan yang mulia ini perlu menerbitkan akaun kewangan pejabat yang diaudit untuk diteliti rakyat.
Kalau hendak terima duit daripada kroni dan golongan elit atau anak-anak taikun, terbitkan fakta itu dalam akaun. Biar satu dunia dapat lihat dan selepas itu biar rakyat membuat keputusan sama ada kita ini populis hipokrit atau benar-benar orang politik yang bersih.
Dato’ Ramli bin Dato' Mohd Nor - Cameron Highlands
Yang Berhormat Subang, gulung.
Tuan Wong Chen - Subang
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Saya ada satu poin lagi. Tidak apa, saya akan bubuh dalam Facebook saya. Terima kasih memberi peluang ini kepada saya. Saya cuma hendak kata satu benda sahaja, Tuan Yang di- Pertua.
Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk meminta maaf atas apa-apa salah kata, apa-apa kritikan dan pandangan yang keras di dalam Dewan yang mulia ini sepanjang sidang Parlimen ke-14 ini. Ini dilakukan demi kepentingan rakyat dan negara.
And lastly, if the election does happen this year, I want to wish all the very best in your future endeavors. Sekian, terima kasih.
[Tepuk]
Dato’ Ramli bin Dato' Mohd Nor - Cameron Highlands
Yang Berhormat Hulu Rajang.
Datuk Wilson Ugak anak Kumbong - Hulu Rajang
Terima kasih Tuan Yang di- Pertua di atas peluang yang diberikan kepada saya membahaskan Titah Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong.
Saya turut senada dengan Titah Tuanku yang bersyukur dengan kestabilan politik yang dikecapi negara pada hari ini. Tahniah diucapkan kepada kita semua Ahli Parlimen kerana kematangan yang kita tunjukkan pada hari ini akan menjadi satu garis panduan untuk anak-anak muda warisi pada masa hadapan.
Kerjasama yang wujud melalui Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik ini bukan retorik semata-mata. Namun, ia merupakan satu jajaran baharu bagi memastikan agenda pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat akan sentiasa menjadi keutamaan pihak kerajaan Keluarga Malaysia.
Datuk Wilson Ugak anak Kumbong - Hulu Rajang
Tuan Yang di-Pertua, tahun 2020 dan tahun 2021 merupakan ancaman COVID- 19. Kita masih bergelut sehingga hari ini dengan jumlah bilangan kes yang telah mencecah sehingga 30,000 kes sehari. Walaupun kebanyakan kes berada di tahap satu dan dua, namun kita tidak boleh bersikap sambil lewa kerana kita tidak tahu adakah terdapat ancaman varian baharu seperti Omicron di masa hadapan.
Persediaan kita fasa endemik perlu diperhalusi dan kesiapsiagaan yang lebih rapi perlu bagi memastikan rakyat siap sedia dengan sebarang kemungkinan. Justeru, saya ingin mencadangkan agar pemberian kit ujian kendiri dapat diedarkan secara percuma untuk mereka yang tergolong dalam kategori B40.
Kementerian Kesihatan (KKM) kini rancak dalam melaksanakan pemberian vaksin COVID-19 untuk kanak-kanak yang berusia lima hingga 11 tahun, Tuan Yang di- Pertua. Namun saya tertanya-tanya, apakah kaedah-kaedah yang digunakan bagi memberikan kesedaran dalam kalangan ibu bapa bagi memastikan anak-anak mereka diberikan vaksin dan seterusnya negara dapat mencapai status dengan izin, herd immunity Tuan Yang di-Pertua?
Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), sektor tenaga buruh negara semakin baik pada Disember 2021 dengan mencatatkan kadar pengangguran yang lebih rendah pada 4.2 peratus, dengan 687,000 orang berbanding pada tahun 2020. Pada tahun ini di bawah inisiatif Jaminan Keluarga Malaysia, sasaran sebanyak 600,000 peluang pekerjaan bakal ditawarkan. Saya ingin mendapatkan maklumat terperinci, berapakah jumlah peluang yang akan ditawarkan ke negeri Sarawak, Tuan Yang di- Pertua? Ini adalah kerana ramai anak muda lepasan universiti masih bergelut untuk mencari pekerjaan. Justeru itu, saya berharap agar pihak kerajaan dapat membuka lebih banyak peluang untuk anak-anak muda di negeri Sarawak, Tuan Yang di-Pertua.
Ramai sering kali yang bertanya mengapa dan kenapa Sarawak diberikan peruntukan begitu besar bagi pembangunan infrastruktur. Namun hakikatnya, apa yang diberi masih tidak mencukupi Tuan Yang di-Pertua kerana masih banyak kawasan luar bandar masih tidak mempunyai jalan yang sempurna dan rakyat masih menggunakan laluan balak serta laluan sungai bagi urusan harian mereka.
Selaras dengan Titah Tuanku, pembangunan infrastruktur haruslah dipercepatkan. Ini adalah kerana Kalimantan bakal menjadi ibu kota Indonesia. Limpahan ekonomi di Kalimantan kelak akan turut memberikan impak positif kepada negeri Sabah dan negeri Sarawak. Justeru itu, kita harus segera mengambil kesempatan ini bagi memastikan pertumbuhan ekonomi di Sarawak juga dapat bergerak seiring.
Secara keseluruhan, pelaksanaan JENDELA ini akan menjadikan Malaysia lebih berdaya saing di peringkat global, mantap berdaya tahan dan masyarakat berasaskan digital, Tuan Yang di-Pertua. Di antara beberapa perkara yang masih fokus utama adalah pendidikan dan produktiviti, perniagaan, kerajaan dan perkhidmatan berasaskan industri komoditi dan masyarakat, Tuan Yang di-Pertua.
Saya ingin bertanya, apakah status naik taraf infrastruktur pendidikan dan jumlah peruntukan RM4.9 bilion yang telah diperuntukkan untuk Sarawak melaksanakan Pelan Jalinan Digital Negara iaitu JENDELA di bawah Rancangan Malaysia Ke-12? Cantik perancangannya di atas kertas. Namun hasilnya masih tidak kelihatan, Tuan Yang di- Pertua. Rakyat di kawasan saya sering kali tanya sampai marah pun ada Tuan Yang di- Pertua. Ini hak mereka kerana mereka juga merupakan pembayar cukai kita di negara ini.
Saya menyambut baik inisiatif Sekolahku Sejahtera. Adakah inisiatif ini hanya tertumpu di sekolah-sekolah di kawasan bandar sahaja? Bagaimana pula dengan sekolah-sekolah yang terletak di kawasan pedalaman, Tuan Yang di-Pertua? Saya ingin mencadangkan agar pihak Kementerian Pendidikan dapat sediakan bersama sebuah program skim anugerah antarabangsa untuk remaja di sekolah-sekolah rendah bagi pembangunan sahsiah mereka. Program yang diberikan nama Junior Award Scheme for Schools (JASS), dengan izin ini akan memberikan nilai tambah antarabangsa untuk mereka yang mengikutinya nanti, Tuan Yang di-Pertua.
Datuk Wilson Ugak anak Kumbong - Hulu Rajang
Saya ingin bertanya kepada Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) berkenaan dengan status pelaksanaan projek-projek di negeri Sarawak. Pada tahun yang lalu, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM1.5 bilion untuk pembangunan infrastruktur luar bandar Sabah dan Sarawak. Berapa banyakkah projek yang telah diluluskan dan senaraikan projek ongoing, Tuan Yang di-Pertua.
Sekiranya ditakdirkan berlaku Pilihan Raya Umum (PRU) dalam tempoh masa terdekat ini, apakah projek-projek yang telah diluluskan ini akan diteruskan atau tidak dan sebaliknya? Ini adalah kerana selepas PRU 14 yang lalu, banyak projek yang diluluskan oleh Kerajaan BN telah dibatalkan oleh Kerajaan PH. Saya berharap ia tidak berlaku kerana projek-projek ini adalah projek rakyat, Tuan Yang di-Pertua.
Justeru itu, saya ingin memohon kepada Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) untuk menyediakan projek jalan dari Rumah Asun Nanga Mujong ke Nanga Tiau terus ke Daerah Bukit Mabung yang baharu di Bahagian Kapit sepanjang 77 kilometer. Selain daripada itu, saya mohon juga mempercepatkan Jalan Rumah Nyamok ke Sungai Gaat ke Persimpangan Rumah Garit Sungai Kapit. Projek ini telah merupakan ilham mantan Timbalan Ketua Menteri Yang Berbahagia Tan Sri Dr. James Jemut Masing yang telah mendapatkan kelulusan daripada pihak kerajaan.
Saya turut ingin mengambil perhatian KPLB juga, turut meluluskan projek Jelalong Tubau sepanjang 70 kilometer yang dipohon oleh saya pada tahun yang lepas. Ini adalah kerana bilangan penduduk dianggarkan seramai 5,000 orang pengundi di kawasan tersebut.
Saya ingin bertanya kepada Kementerian Kewangan berkenaan dengan akses Empangan Baleh Seksyen A4, C1 dan C2 sepatutnya sudah siap pada tahun 2019.
Namun, sampai sekarang masih tidak kelihatan. Rakyat cukup marah dan saya dihujani pelbagai soalan oleh rakyat yang mahukan jawapan dengan segera. Apakah tindakan MoF dan agensi pelaksanaan dalam menyelesaikan perkara ini, Tuan Yang di-Pertua?
Status Balai Polis Belaga, saya mohon perhatian Kementerian Dalam Negeri
(KDN) berkenaan perkara ini dengan kadar segera, Tuan Yang di-Pertua.
“Beriku 10 pemuda, akan aku goncang dunia”, Bung Karno, mantan Presiden Indonesia. Titah Tuanku berkenaan Model Baharu Pembangunan Belia Tahun 2021-2030 sangat signifikan kepada pembangunan belia di negara ini. Namun, saya mempunyai cadangan agar program-program lama kementerian harus diberikan nafas baharu, bagi memastikan ia terus relevan di mata anak-anak muda kita.
Program seperti Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda seharusnya digerakkan dan dikembalikan semula kepada badan berkanun Pusat Belia Antarabangsa bagi memastikan lebih ramai anak muda dapat menyertainya. Sistem pengurusan program ini juga harus menyeluruh dan peluang sama rata perlu diberikan kepada semua remaja di seluruh negara tanpa mengira darjat, pangkat dan sebagainya.
Saya turut ingin menzahirkan rakaman jutaan terima kasih kepada semua rakan Ahli Parlimen di atas sokongan yang telah diberikan dalam meluluskan pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) pada Disember yang lalu. Saya menyahut baik pindaan ini, namun terdapat beberapa perkara lagi yang perlu diberikan perhatian dalam MA63 iaitu berkaitan dengan jumlah kerusi Parlimen untuk Borneo dalam Dewan yang mulia ini.
Kini komposisi kerusi Parlimen untuk Sabah dan Sarawak hanya meliputi satu perempat peratus daripada keseluruhan kerusi Parlimen iaitu sebanyak 56; Sabah 2 dan Sarawak 31. Angka ini jauh berbeza berbanding dengan semangat yang telah diwujudkan dalam MA63 yang menekankan konsep dengan izin, equal partners. Perkataan “rakan kongsi” ini hanya dirujuk kepada tiga pihak sahaja iaitu negeri Sabah, Sarawak dan Semenanjung Tanah Melayu semasa pembentukan Malaysia.
Justeru itu, Sabah dan Sarawak seharusnya diberikan satu per tiga daripada 222 buah kerusi dan sekiranya tidak berlaku, agihan kuasa dalam Parlimen hanya akan bergantung kepada satu pihak iaitu di Semenanjung sahaja.
Datuk Wilson Ugak anak Kumbong - Hulu Rajang
Walaupun perkara itu tidak ditulis dalam Perjanjian MA63, namun saya ingin mengesyorkan agar pihak kerajaan dapat memperhalusi perkara ini agar suatu pindaan berkaitan penambahan kerusi Parlimen di Borneo dapat disegerakan.
Sebelum saya mengakhiri hujah saya, izinkan saya untuk turut merakamkan penghargaan terima kasih saya dan rakyat dari kawasan Parlimen Hulu Rajang untuk semua petugas barisan hadapan negara. Anggota-anggota perkhidmatan awam, anggota Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia, agensi kerajaan, pejabat daerah, pejabat stesen, ketua masyarakat, tuai-tuai rumah, pemanca, temenggong dan semua sukarelawan yang telah mencurahkan bakti memastikan keamanan dan kesejahteraan negara sejurus sehingga ke saat ini.
Saya menyeru semua rakyat Malaysia agar kita terus bersatu padu dalam memastikan kedaulatan negara kita tidak akan sesekali digugat oleh orang luar. Insiden peperangan yang kini sedang berlaku di antara Rusia dan Ukraine memberikan isyarat kepada kita betapa pentingnya perpaduan dan juga kekuatan sebuah kerajaan dalam menempuhi cabaran-cabaran yang akan datang. Bersama kita berganding bahu demi negara tercinta ini.
Saya mohon menyokong. Sekian, terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Dato’ Ramli bin Dato’ Mohd Nor - Cameron Highlands
Dipersilakan Yang Berhormat Kluang.
Puan Wong Shu Qi - Kluang
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Terima kasih dan salam sejahtera.
Peperangan antara Ukraine dan Rusia baru berlaku. Akibatnya, harga minyak sawit terus mencecah RM7,000 satu tan metrik. Nampaknya ini adalah satu berita baik bagi pekebun sawit kecil di Malaysia. Namun begitu, pekebun sawit kita masih bimbang lagi. Mereka bimbang apa? Mereka bimbang harga baik tetapi buah sawit pun tak ada orang nak menuai. Harga pasaran baik tak dapat masuk poket. Masalah sama sebenarnya telah banyak kali dibangkitkan dalam Dewan yang mulia ini.
Pada sesi penggal yang lepas, saya telah pun sentuh isu berkenaan perbelanjaan MPOB dalam kajian mekanisasi supaya teknologi yang kita pakai, yang guna dalam penghasilan kelapa sawit boleh ditingkatkan. Kelapa sawit telah ditanam di Malaysia, tanah air kita selama satu abad iaitu 100 tahun. Takkan kita masih menggunakan teknologi manual yang dipakai 100 tahun yang lalu tanpa penambahbaikan?
Saya cukup yakin bahawa kita mampu cari satu penyelesaian yang mengurangkan kebergantungan tenaga buruh berkemahiran rendah dalam penghasilan kelapa sawit sekiranya kerajaan ada iltizam politik (political will).
Walau bagaimanapun, kita di sini tidak dapat mengelak, tidak boleh menafikan pengambilan pekerja asing untuk memenuhi permintaan tenaga buruh yang semakin mendesak sekarang. Pada bulan Oktober tahun lepas, Yang Berhormat Menteri Sumber Manusia sendiri telah mengumumkan sejumlah 32,000 orang pekerja asing sektor perladangan akan dibawa masuk secara berperingkat. Kini sudah bulan Mac 2022, apa perkembangan perkara tersebut?
Pada masa yang sama, media melaporkan bahawa ada pihak tertentu yang tidak puas hati dengan keputusan kerajaan kita yang hanya melantik 25 orang ejen dan 250 orang sub ejen untuk membawa masuk pekerja Bangladesh ke Malaysia. Tuduhan mereka terhadap Kerajaan Malaysia adalah serius, seolah-olahnya kita memberi peluang monopoli kepada sindiket tertentu. Yang Berhormat Menteri seharusnya menjelaskan rasional pelantikan kesemua ejen dan sub ejen ini di dalam Dewan yang mulia ini supaya nama negara kita dipertahankan.
Puan Wong Shu Qi - Kluang
Tuan Yang di-Pertua, apabila harga minyak sawit terus meningkat, jangan kita lupa, harga barang lain juga meningkat. Baja, racun, kos tenaga buruh, semua naik.
Paling teruk sekali, harga makanan juga naik secara mendadak.
Pada bulan Januari tahun 2020, harga ayam sebelum Tahun Baru Cina adalah RM6.29 sahaja untuk sekilo. Ketika itu, pasaran stabil, bekalan stabil, permintaan stabil dan paling penting sekali, harga runcit adalah munasabah bagi setiap isi rumah. Justeru, penternak, pemborong, peruncit dan rakyat semua gembira.
Dua tahun sahaja Perikatan Nasional dan Barisan Nasional ambil alih kuasa di Putrajaya, apa yang jadi akhirnya? Harga runcit ayam mencecah RM10 sekilo sehingga kerajaan perlu menguatkuasakan harga siling runcit pada tahap RM8.90 sekilogram.
Namun begitu, cara ini hanya mengakibatkan kekurangan bekalan daging ayam di pasar. Kos penghasilan telah melebihi kos penjualan. Lebih baik bagi penternak untuk mengurangkan penghasilan daripada menjual dengan kerugian. Ini adalah satu isu ekonomi asas. Saya minta kerajaan meneliti isu bekalan ini secara terperinci dan bukan menetapkan satu harga siling yang akan memberi kesan buruk kepada kesemua penternak kecil di Malaysia.
Tuan Yang di-Pertua, untuk mengendalikan masalah kekurangan daging ayam di pasaran domestik, saya difahamkan 35 AP iaitu permit import telah diberi kepada syarikat- syarikat untuk pengimportan buat sementara. Saya berharap Yang Berhormat Menteri boleh menjelaskan siapa mereka yang menerima 35 AP ini. Adakah kesemua ini mempunyai pengalaman mencukupi dalam pengendalian perniagaan tersebut? Paling penting sekali, apa syarat-syarat yang ditetapkan untuk memperoleh permit import ini?
Dalam satu artikel yang diterbitkan oleh mantan profesor Universiti Malaysia Perlis, Murray Hunter di blog dia serta Free Malaysia Today dua hari yang lalu, dia menyatakan bahawa ada CEO syarikat tertentu menuduh bahawa pembayaran secara tidak spesifik perlu dibuat sebelum memperoleh kelulusan daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar. Tuduhan sebegini amat memburukkan nama negara kita. Kita mesti menyiasat sama ada kejadian tersebut berlaku.
Bidang penternakan ayam di Malaysia adalah satu sektor yang agak baik sebelum ini. Peranan kerajaan adalah membantu sektor ini terus berkembang dengan teknologi semasa dan memastikan keseimbangan antara bekalan dan permintaan. Jangan kita memusnahkan sektor ini dengan dasar yang tidak munasabah.
Tuan Yang di-Pertua, negara kita dikurniakan pelbagai sumber bumi semula jadi.
Tanggungjawab generasi kita sekarang adalah untuk menggunakan semua sumber ini dengan bijaksana supaya generasi yang akan datang nanti tidak akan hilang semua kelebihan yang kita nikmati sekarang. Contohnya, hutan yang kita nikmati yang menjadi habitat haiwan liar serta kawasan tadahan air semasa musim tengkujuh. Bencana yang kita hadapi tahun lepas adalah satu amaran kepada semua. Punca bencana tersebut adalah aktiviti manusia.
Aktiviti kita yang mengakibatkan perubahan iklim, perubahan aliran air dan sebagainya. Kenapa kita mengizinkan semakin banyak hutan dibuka menjadi ladang?
Adakah EIA dilakukan sebelum semua pembangunan diluluskan?
Saya sakit hati ketika melihat dua ekor tenuk lari keluar dari hutan pada waktu siang semasa habitat mereka dimusnahkan oleh banjir. Kemudian, mereka dikejutkan oleh jeritan orang ramai di sekeliling. Kesian, dua ekor tenuk yang biasanya pemalu dengan penglihatan yang lemah dan hanya keluar mencari makan pada waktu malam terpaksa menjadi pelarian bencana akibat aktiviti manusia.
Populasi tenuk ini semakin kurang akibat habitat mereka yang dimusnahkan.
Walaupun warna mereka sama dengan panda, populasi sedunia pun agak-agaknya sama dengan panda. Namun begitu, kerajaan kita lebih cenderung menanggung kos juta-juta untuk meminjam dan menjaga panda di Zoo Negara daripada melindungi haiwan asal Malaysia ini. Saya minta Yang Berhormat Menteri menjelaskan sasaran kita untuk meningkatkan populasi spesies unik ini dalam lima tahun. Jangan nanti generasi yang
Puan Wong Shu Qi - Kluang
akan datang hanya dapat lihat spesies haiwan ini dalam muzium dan bukan di zoo lagi dan bukan di hutan lagi.
Puan Wong Shu Qi - Kluang
Satu lagi isu dengan haiwan iaitu gajah yang mencerobohi kebun-kebun di daerah Kluang. Habitat mereka dimusnahkan di kawasan Mersing untuk memberi laluan kepada kebun sawit yang luas. Jadi, mereka terpaksa memasuki ladang-ladang luar daripada habitat lama. Pokok sawit dimusnahkan, pekebun marah, gajah diracunkan, aktivis hak asasi haiwan marah. Apa punca semua masalah ini? Kenapa kita tidak merancangkan satu sanctuary untuk melindungi gajah-gajah terlebih dahulu sebelum memberi kelulusan pembukaan hutan yang luas.
Kami di Johor sudah mempunyai sebuah sanctuary gajah di Kota Tinggi. Namun, ia tetap tidak mencukupi kerana semakin banyak gajah memasuki kawasan Kahang dan Kluang akibat pembangunan ladang di Mersing. Saya minta kementerian ambil tindakan segera dan jangan tunggu sehingga tragedi berlaku, baru mahu cari penyelesaian jalan keluar. Sekiranya mampu membina sebuah sanctuary gajah lagi di kawasan Kahang atau Mersing untuk mengelakkan kerugian pekebun kecil.
Masalah ini sudah terus, bukan satu tahun tetapi dua tiga tahun sudah. Bantulah pekebun kecil walaupun mereka populasi tidak ramai tetapi mereka ialah rakyat Malaysia juga. Ahli Parlimen sana yang memegang jawatan Menteri Kanan tidak menyuarakan bagi mereka, pun tidak apa, janji kerajaan menyelesaikan masalah ini cukuplah. Sekian, terima kasih.
Dato’ Ramli bin Dato' Mohd Nor - Cameron Highlands
Yang Berhormat Igan, silakan.
Tuan Haji Ahmad Johnie bin Zawawi - Igan
Terima kasih Tuan Yang di- Pertua. Igan ingin mengucapkan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kerana diberi kesempatan untuk mengambil bahagian dalam perbahasan Titah Ucapan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong semasa Majlis Pembukaan Sidang Dewan Rakyat Penggal Kelima, Parlimen Ke-14 pada kali ini. Saya akan terus membawa suara rakyat Igan khususnya dan Sarawak amnya di Dewan yang mulia ini, insya-Allah.
Tuan Yang di-Pertua, tanggal 14 Disember 2021 yang lalu ialah satu detik yang menggembirakan seluruh rakyat Malaysia, khususnya rakyat di Sarawak dan Sabah.
Sesungguhnya kelulusan Rang Undang-undang Perlembagaan Perkara 1(2) dan Perkara 160(2) Perlembagaan Persekutuan ialah satu detik sejarah yang terbilang sebagaimana Titah Ucapan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
Ia adalah sebuah penantian yang lama. Ia adalah suatu peristiwa yang menepati janji yang sekian lama tertangguh dalam menunaikan hak-hak rakyat Sarawak dan Sabah.
Kelulusan pindaan ini boleh diibaratkan umpama “bulan jatuh ke riba”. Apa yang lebih istimewa dan sentimental...
Dato’ Ramli bin Dato' Mohd Nor - Cameron Highlands
Yang Berhormat Igan, ini pemakluman. Pada hari ini kita akan habis pada pukul 6.30 petang. Saya membenarkan sampai 6.30 petang.
Tuan Haji Ahmad Johnie bin Zawawi - Igan
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Apa yang lebih istimewa dan sentimental, kejayaan pindaan rang undang-undang ini telah memenuhi hasrat, harapan dan perjuangan Allahyarham Tok Nan. Di mana sejurus selepas dilantik ke jawatan Ketua Menteri Sarawak pada 28 Februari 2014, beliau terus membawa aspirasi memperjuangkan kepentingan hak keistimewaan serta kedudukan Sarawak seperti yang termaktub di dalam Perjanjian Malaysia 1963 serta Perlembagaan Persekutuan.
Tuan Haji Ahmad Johnie bin Zawawi - Igan
Sebelum menghembuskan nafas terakhir pada 11 Januari 2017, beliau telah mengungkapkan pesanan terakhir kepada Yang Amat Berhormat Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk menjaga Sarawak dengan sebaik-baiknya. Alhamdulillah, di atas iltizam dan komitmen Yang Amat Berhormat Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari yang mencetuskan slogan Utamakan Sarawak, hasrat Allahyarham Tok Nan telah menjadi kenyataan.
Tuan Yang di-Pertua, Igan dengan ini ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih dan penghargaan kepada Kerajaan Malaysia pimpinan Yang Amat Berhormat Dato' Sri Ismail Sabri bin Yaakob, Perdana Menteri Malaysia atas sokongan bagi memastikan rang undang-undang ini diluluskan. Igan juga ingin mengucapkan terima kasih kepada rakan seperjuangan, Ahli-ahli Dewan Rakyat dan Ahli-ahli Dewan Negara semua yang telah menyokong sepenuhnya rang undang-undang ini sehingga diluluskan dengan undian melebihi dua pertiga seperti yang dikehendaki Perlembagaan.
Tuan Yang di-Pertua, rasional di sebalik pindaan Perkara 1(2) dan Perkara 160(2) Perlembagaan Persekutuan adalah jelas sekali untuk mengembalikan status rakan sekutu ataupun equal partners, dengan izin, kepada Sarawak dan Sabah seperti yang termaktub di dalam Perjanjian Malaysia 1963. Ia bertujuan untuk mengukuhkan kedudukan Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan Malaysia demi memastikan keharmonian dan perpaduan di kalangan rakyat dalam semangat Keluarga Malaysia.
Tuan Yang di-Pertua, oleh kerana Perjanjian Malaysia 1963 dan segala dokumen- dokumen yang berkaitan dengannya seperti Inter-Governmental Committee Report (IGC) dan lain-lain dokumen telah menjadi sebahagian daripada Perlembagaan Malaysia iaitu Akta 1642, maka Sarawak dan Sabah sekarang ini boleh menuntut segala hak dan janji seperti yang terkandung di dalam Perjanjian Malaysia 1963.
Pindaan ini telah memberikan pengiktirafan dan keabsahan terhadap segala tuntutan dan status istimewa Sarawak dan Sabah. Oleh itu, Kerajaan Persekutuan tidak lagi boleh menafikan segala tuntutan dan hak-hak rakyat Sarawak dan Sabah sebagai sebuah negara yang mengamalkan sistem federalisme. Kita semua harus menjunjung prinsip Kedaulatan Undang-undang dan Keluhuran Perlembagaan.
Tuan Yang di-Pertua, hari ini status Persekutuan Tanah Melayu Sarawak dan Sabah ialah rakan sekutu atau rakan setara yang “berdiri sama tinggi, duduk sama rendah”. Setakat ini, apa yang dimaksudkan dengan rakan sekutu tidak diperincikan dan didefinisikan dengan jelas. Oleh itu, saya memohon kementerian berkenaan menjelaskan apakah erti rakan sekutu dan apakah perkara-perkara yang perlu dilaksanakan untuk meletakkan Sarawak dan Sabah sebagai rakan setara ataupun rakan kongsi.
Saya juga memohon agar Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 dapat meneruskan perbincangan dan rundingan mengenai segala isu yang berkaitan dengan Perjanjian Malaysia 1963 yang melibatkan pelaksanaan hak-hak negeri Sarawak dan Sabah sehingga suatu persetujuan, konsensus dan kompromi dapat diterima oleh semua pihak. Kita tidak menuntut dan meminta lebih, melainkan hak-hak yang telah termaktub di dalam Perjanjian Malaysia 1963 yang selama ini telah terhakis.
Oleh itu, saya ingin tahu apakah perkara-perkara yang sudah dimuktamadkan serta apakah isu-isu yang sedang dan akan diselesaikan dan bilakah dijangka isu-isu ini dapat dimuktamadkan? Adalah diharapkan segala perbincangan dan rundingan yang dijalankan, dilakukan umpama “menarik rambut di dalam tepung” dan seperti “menatang minyak yang penuh”.
Tuan Yang di-Pertua, kini Sarawak dan Sabah telah diiktiraf sebagai rakan sekutu dalam konteks Perlembagaan Malaysia. Kedudukan dan status Sarawak dan Sabah bukan lagi sama seperti negeri-negeri lain. Oleh itu, sesuai dengan statusnya Sarawak sebagai rakan sekutu, tindakan Kerajaan Sarawak meluluskan Rang Undang-undang Perlembagaan Negeri Sarawak (Pindaan) 2022 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri yang lalu ialah satu tindakan yang bijaksana.
Cadangan meminda Perkara 6(3)(a) yang menukarkan gelaran Ketua Menteri Sarawak kepada Premier merupakan satu langkah yang tepat untuk membezakan dan
Tuan Haji Ahmad Johnie bin Zawawi - Igan
mengangkat martabat dan kedaulatan Sarawak sebagai salah satu wilayah yang berbentuk Persekutuan Malaysia seperti yang termaktub di dalam Perjanjian Malaysia 1963.
Oleh itu, adalah tidak logik dan tidak sesuai jika Sarawak masih lagi menggunakan istilah Ketua Menteri seperti negeri Melaka dan Pulau Pinang sedangkan dalam Perlembagaan status Sarawak adalah setara dengan Persekutuan Tanah Melayu. Justeru itu, gelaran Ketua Kerajaan Sarawak perlu berbeza dengan negeri-negeri lain dalam Persekutuan.
Tuan Haji Ahmad Johnie bin Zawawi - Igan
Kita harus meletakkan kedudukan kita pada kedudukan yang betul dan selayaknya agar kita sentiasa dihormati. Pindaan ini bukan perubahan kosmetik pada nama sahaja, tetapi ia adalah manifestasi, keyakinan dan perjuangan menuntut hak dan meletakkan Sarawak pada status yang selayaknya sebagai entiti ataupun rakan dalam membentuk Malaysia.
Pindaan ini bukan bererti memberi jawatan itu lebih kuasa ataupun keistimewaan, tetapi ia wajar dilihat daripada perspektif status Sarawak sebagai rakan sekutu yang sejajar dengan pindaan Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan. Ia adalah langkah permulaan ke arah perbincangan memperjuangkan hak-hak Sarawak, keistimewaan, autonomi dan perkara-perkara lain yang akan menyusul. Perkara ini tidak wajar dijadikan polemik.
Oleh itu, saya memohon agar pihak Dewan Bahasa dan Pustaka mencadangkan satu istilah yang sesuai untuk gelaran Premier Sarawak jika istilah berkenaan dianggap mengelirukan. Saya cadangkan supaya istilah Premier dalam bahasa Inggeris ini diterima dan diguna pakai oleh pihak Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai istilah bahasa Malaysia sebagaimana istilah-istilah bahasa Inggeris yang lain yang telah diterima sebagai bahasa Malaysia dalam daftar kata Dewan Bahasa dan Pustaka.
Ini sesuai dengan sifat bahasa Malaysia itu sebagai bahasa yang dinamik sifatnya. Saya juga memohon agar Kerajaan Persekutuan secara rasmi mengiktiraf istilah ‘wilayah’ untuk Sarawak dan Sabah bagi membezakan status kedua-dua wilayah ini dengan negeri-negeri yang lain di Malaysia. Walaupun di dalam Perlembagaan Persekutuan, Sarawak dan Sabah disebut sebagai the Borneo States. Tuan Yang di-Pertua, pindaan perkara 6(3)(a) Perlembagaan Negeri Sarawak 2022 bukan sekadar pada nama sahaja, tetapi ia tersirat agenda yang besar dalam memartabatkan kedaulatan dalam konteks pembangunan yang holistik dan kesejahteraan rakyat. Selepas ini akan ada beberapa siri rundingan dan perbincangan dengan Kerajaan Persekutuan untuk memuktamadkan perkara yang berkaitan dengan hak-hak rakyat Sarawak khasnya mengenai pembangunan infrastruktur asas, isu-isu pendidikan, isu-isu kesihatan awam, isu-isu imigresen, hal-hal keselamatan, isu-isu perikanan, kawalan sempadan, perbincangan tentang pemberian geran khas sebagaimana termaktub di dalam perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.
Ini termasuk formula pengiraannya dan isu-isu yang membabitkan royalti minyak, agihan kekayaan yang seimbang, peruntukan belanjawan tahunan dan isu 50 peratus cukai Persekutuan yg dipungut di Sarawak dikembalikan kepada Sarawak dan isu-isu yang lain. Semua ini adalah perkara-perkara penting demi kemakmuran, kesejahteraan dan kemajuan rakyat Sarawak Bumi Kenyalang.
Tuan Yang di-Pertua, oleh hal yang demikian, dengan semangat federalisme yang membentuk sebuah negara Malaysia, hak-hak dan kuasa-kuasa autonomi yang diperuntukkan kepada wilayah Sarawak dan Sabah haruslah sentiasa dipelihara dan ditunaikan sebagaimana yang termeterai dan dipersetujui semasa pembentukan Malaysia. Sesungguhnya semua rakyat di negara ini menaruh harapan yang tinggi untuk melihat Malaysia yang harmoni, bersatu padu, adil dan saksama dalam semangat warga Malaysia yang sentiasa menjunjung prinsip kedaulatan undang-undang dan keluhuran perlembagaan.
Tuan Haji Ahmad Johnie bin Zawawi - Igan
Tuan Yang di-Pertua, pada persidangan Dewan Rakyat yang lepas, saya telah membangkitkan isu ataupun masalah pengurusan FELCRA Berhad di negeri Sarawak.
Sejak tahun 1987, FELCRA Berhad di Sarawak telah mengurus seluas 47,730 hektar ladang sawit dengan melibatkan seramai 20,307 orang peserta Projek Penyatuan dan Pemulihan Tanah yang merangkumi peserta Ladang Rakyat dan Ladang Sejahtera.
Daripada jawapan bertulis yang saya terima, mereka mengaku bahawa FELCRA Berhad Sarawak telah gagal untuk memberi pulangan dividen yang tinggi kepada para peserta. Ini adalah satu pengakuan yang serius dan saya menyeru agar Kementerian Pembangunan Luar Bandar mengambil tindakan yang sewajarnya kepada pihak pengurusan FELCRA Berhad di Sarawak yang ternyata gagal merangka pelan tindakan yang baik demi manfaat para peserta dan pekebun kecil.
Di antara alasan yang diberikan sehingga gagal memberi pulangan dividen yang tinggi kepada para peserta ialah kerana berlaku pencerobohan yang serius di projek- projek FELCRA Berhad. Saya ingin tahu, mengapa berlaku masalah pencerobohan ini?
Adakah kerana para peserta tidak berpuas hati dengan pulangan dividen yang mereka terima dan malah ada yang tidak menerima langsung selama bertahun-tahun atau kerana pengurusan pihak FELCRA yang tidak cekap?
Selain daripada itu, antara alasan lain yang diberikan oleh FELCRA Berhad wilayah Sarawak menyebabkan gagal memberi dividen yang tinggi adalah kerana kedudukan projek-projek adalah bertaburan dan bersaiz kecil yang kebanyakannya kurang daripada 50 hektar menyebabkan kesukaran untuk mengurus secara efisien dan masalah pengurusan air serta sistem pengairan kerana projek yang kecil dan berselerak.
Oleh itu, saya ingin bertanya, mengapa di peringkat awal pihak pengurusan FELCRA Berhad meneruskan projek ini sekiranya sudah mengetahui ia tidak berdaya maju? Ini adalah satu pembaziran wang rakyat dan memberi harapan yang sia-sia kepada peserta. Di manakah tanggungjawab sosial FELCRA Berhad sebagai agensi yang bermatlamat menaikkan status ekonomi penduduk di luar bandar? Saya juga ingin tahu daripada 47,731 hektar ladang sawit di Sarawak, berapa hektarkah yang berumur lebih 25 tahun yang tidak lagi ada mempunyai economic cycle dan melibatkan berapa ramai peserta?
Saya juga ingin tahu, berapakah jumlah keseluruhan ladang atau pun projek sawit di Sarawak mengikut kawasan atau bahagian? Daripada jumlah berkenaan, berapa ladangkah yang mencatat keuntungan dan berapa ladangkah yang dikategorikan sebagai projek rugi? Saya juga ingin tahu, berapa tankah hasil tahunan per hektar setiap ladang yang diuruskan oleh pihak FELCRA ini serta berapakah jumlah kawasan ataupun projek yang telah dan akan ditanam semula?
Tuan Yang di-Pertua, saya juga ingin tahu, apakah pelan tindakan jangka panjang FELCRA Berhad untuk memastikan pengurusan ladang sawit yang berdaya maju yang akan memberi pulangan dividen yang tinggi kepada para peserta? Sejauh manakah masalah kekurangan pekerja ladang yang dihadapi oleh FELCRA dan apakah tindakan yang akan diambil untuk mengatasinya?
Tuan Yang di-Pertua, saya juga ingin membangkitkan mengenai masalah pengurusan FELCRA di kawasan Parlimen Igan. Pada setiap kali persidangan, saya sering membangkitkan isu-isu dan masalah-masalah pengurusan FELCRA di kawasan saya ini. Pada persidangan Parlimen yang lepas, dalam jawapan bertulis, FELCRA telah memaklumkan kepada saya bahawa terdapat 10 projek yang kurang berdaya maju atau rugi di kawasan Parlimen Igan. Saya suka menyebut sepuluh projek ini di Dewan yang mulia ini. Di antaranya ialah
(i) Kuala Matu 1;
(ii) Lobak Balu 1;
(iii) Sekaan 1;
(iv) Kampung Sok 1;
(v) Sekaan 3;
Tuan Haji Ahmad Johnie bin Zawawi - Igan
(vi) Pergau;
(vii) Kuala Matu 2;
(viii) Halud;
(ix) Kampung Sok 2; dan
(x) Loba Balu 3.
Tuan Yang di-Pertua, menyedari hakikat bahawa 10 projek berkenaan tidak berdaya maju, pihak FELCRA telah memulakan langkah menyerahkan balik projek-projek berkenaan kepada pemiliknya dengan pendekatan win-win situation katanya. Saya ingin tahu, sejauh manakah inisiatif ini telah diambil dan apakah yang dimaksudkan dengan pendekatan win-win situation? Tuan Yang di-Pertua, baru-baru ini ramai para peserta ladang berjumpa dengan saya menyatakan kekesalan terhadap pengurusan FELCRA yang membiarkan ladang sawit mereka begitu sahaja tanpa dipungut buah tandan segarnya. Mereka merasa teraniaya dengan harga buah sawit sekarang ini amat tinggi.
Dato’ Ramli bin Dato’ Mohd Nor - Cameron Highlands
Yang Berhormat Igan, sila gulung.
Tuan Haji Ahmad Johnie bin Zawawi - Igan
Ya, satu minit. Akan tetapi mereka tidak dapat menikmati hasilnya. Nampaknya, FELCRA di kawasan Igan amat tidak bertanggungjawab. Saya ingin tahu mengapakah masalah ini terjadi? Apakah tindakan yang telah diambil oleh pihak FELCRA untuk mengatasinya?
Tuan Yang di-Pertua, masalah dividen yang sedikit dan ada yang tidak menerima langsung masih lagi menjadi isu dan rungutan para peserta. Sebelum ini daripada jawapan Yang Berhormat Menteri masalah ini timbul kerana para peserta masih lagi menanggung kos pembangunan ladang. Saya merasa hairan mengapa setelah hampir 30 tahun masalah hutang kos pembangunan ini masih ada? Adalah tidak adil bagi para peserta menanggung kos yang tidak pernah selesai.
Oleh itu saya mencadangkan dan memohon agar kos pembangunan ladang tertunggak ini dilupuskan oleh kerajaan. Pihak FELCRA juga harus telus dalam setiap pengiraan transaksi untung rugi dengan setiap peserta supaya mereka mengetahui status pelaburan jangka panjang mereka.
Tuan Yang di-Pertua, sebelum mengakhiri perbahasan ini saya ingin menyampaikan dua rangkap pantun bagi membalas pantun Tuanku semasa Istiadat Pembukaan Sidang Dewan Rakyat Penggal Kelima ini.
*Berpolitik siang malam tiada penghujung, Akhirnya diri terasa ralat, Pesanan Tuanku sentiasa dijunjung, Raja penyayang Raja berdaulat.
Parlimen Igan sentiasa di hati, Di sini Putrajaya, di Sarawak Petrajaya, Tanda kami bersatu hati, Semua RUU dilulus dengan jaya.* Sekian, terima kasih. Igan mohon menyokong.
Dato’ Ramli bin Dato’ Mohd Nor - Cameron Highlands
Yang Berhormat Igan adalah pembahas yang terakhir. Ahli-ahli Yang Berhormat, Mesyuarat Dewan hari ini ditangguhkan sehingga 10.00 pagi, hari Rabu, 20 Mac 2022.
[Dewan ditangguhkan pada pukul 6.32 petang]
Dato’ Ramli bin Dato’ Mohd Nor - Cameron Highlands
DR.01.03.2022 I