Nov192020

Katalog Hansard

Dewan Rakyat
  Disahkan

[Timbalan Yang di-Pertua (Dato’ Sri Azalina Othman Said) **mempengerusikan Mesyuarat****]

final • 10:00 AM
JAWAPAN-JAWAPAN MENTERI BAGI PERTANYAAN-PERTANYAAN

Tuan Yang di-Pertua

Ahli-ahli Yang Berhormat, setiap pertanyaan oleh Yang Berhormat akan diperuntukkan masa selama satu minit dan jawapan oleh Yang Berhormat Menteri diperuntukkan selama dua minit dengan tiada sebarang pertanyaan tambahan. Silakan Yang Berhormat Bagan kemukakan pertanyaan dalam masa satu minit.

final • 10:00 AM

1. Tuan Lim Guan Eng [Bagan] minta Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi menyatakan sama ada Malaysia menyertai inisiatif COVAX yang disokong oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang membolehkan 20 peratus daripada penduduk sesebuah negara menerima dos vaksin COVID-19 dengan vaksin dihantar sebaik sahaja tersedia dan juga membantu membina semula ekonomi. Apakah kos penyertaan dan peranan yang perlu dimainkan oleh negara kita. M

final • 10:00 AM

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi - Tuan Khairy Jamaluddin Abu Bakar

Terima kasih, Tuan Yang di-Pertua. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Jemaah Menteri pada 14 Oktober 2020 telah bersetuju agar Malaysia menyertai fasiliti COVAX yang bakal memberi jaminan bekalan vaksin untuk 10 peratus populasi Malaysia.

Jemaah Menteri juga telah bersetuju agar Kementerian Kesihatan Malaysia mewakili Kerajaan Malaysia untuk memuktamadkan perjanjian penyertaan Malaysia ke dalam COVAX bersama pihak Global Alliance for Vaccination and Immunization (GAVI) dan Jabatan Peguam Negara telah ditugaskan untuk menyemak terma syarat serta syarat-syarat perjanjian yang ditetapkan GAVI.

Setelah dibuat proses semakan, Jemaah Menteri telah memutuskan pada 13 November supaya Malaysia melalui Kementerian Kesihatan memuktamadkan penyertaan dalam COVAX facility dengan menandatangani Optional Purchase Agreement. Buat masa ini, Kementerian Kesihatan dan pihak GAVI sedang memuktamadkan tarikh bagi menandatangani perjanjian tersebut. Keputusan untuk Malaysia menyertai fasiliti ini akan melibatkan kos yang merangkumi bayaran pendahuluan (upfront payment) dan risk sharing guarantee berjumlah USD22.6 juta atau secara anggarannya RM94 juta.

Jaminan akses awal bekalan vaksin COVID-19 adalah penting untuk melindungi rakyat Malaysia daripada penularan wabak COVID-19 dan

final • 10:00 AM

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi - Tuan Khairy Jamaluddin Abu Bakar

selanjutnya membantu merancakkan ekonomi negara apabila vaksinasi dijadikan syarat untuk pergerakan dan perhubungan di peringkat global.

Penyertaan Malaysia di dalam platform multilateral COVAX facility merupakan pendekatan pelbagai hala (multipronged approach) yang bakal membuka ruang untuk negara mempelbagaikan pilihan serta mengurangkan risiko daripada memberikan tumpuan kepada kaedah bilateral sahaja dalam perolehan vaksin COVID-19. Terima kasih.

final • 10:00 AM

2. Tuan Syed Ibrahim bin Syed Noh [Ledang] minta Perdana Menteri menyatakan perancangan langkah segera dan efektif kerajaan bagi membendung penularan COVID-19 dalam kalangan 'Kongsi' binaan yang kian membimbangkan.

final • 10:00 AM

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) - Datuk Seri Mohd Redzuan bin Md Yusof

Terima kasih, Yang Berhormat Ledang.

Tuan Yang di-Pertua, untuk makluman Ahli Yang Berhormat, perkara ini sudah diperbincangkan dan sudah diteliti oleh pihak Kementerian Sumber Manusia dengan kerjasama kementerian dan agensi kerajaan yang berkaitan.

Sidang Khas MKN Bil. 51 Tahun 2020 telah bermesyuarat semalam, antara lain bersetuju agar Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan

(KPKT) dan Kementerian Sumber Manusia untuk meneliti, merangka pelan perumahan, penginapan dan kemudahan yang komprehensif bagi menempatkan pekerja asing di Malaysia.

Dalam membendung penularan jangkitan COVID-19 di kalangan pekerja asing khususnya dalam sektor pembinaan, pihak kerajaan melalui Kementerian Sumber Manusia akan melaksanakan langkah-langkah komprehensif bagi menangani isu tersebut dengan meneliti segera keperluan bagi pekerja asing yang berada di kawasan merah ini. Ini termasuklah menambah baik pelan tindakan melibatkan aspek penginapan, kediaman pekerja warga asing serta kawalan pergerakan antara pekerja-pekerja asing.

Penelitian lanjut juga sedang dibuat berkaitan mekanisme dan prosedur pergerakan bagi pekerja asing untuk menjalani ujian saringan COVID-19.

Dalam hubungan ini, aspek pemantauan dan penguatkuasaan ke atas pemantauan SOP akan dipertingkatkan bagi memastikan kes penularan COVID-19 dapat dikawal di kongsi binaan. Dengan itu, Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja (Pindaan) 2019 [Akta 446] akan dikuatkuasakan.

Terima kasih, Tuan Yang di-Pertua.

final • 10:00 AM

3. Tuan Khoo Poay Tiong [Kota Melaka] minta Menteri Kewangan menyatakan jumlah permohonan dan kelulusan yang diterima untuk Geran Khas Prihatin 2.0 dan apakah sebab-sebab utama permohonan yang tidak berjaya, ditolak.

final • 10:10 AM

Menteri Kewangan - YM Tengku Dato’ Sri Zafrul Tengku Abdul Aziz

Terima kasih Yang Berhormat. Tuan Yang di-Pertua, seperti yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Kota Melaka, Geran Khas Prihatin (GKP 2.0) telah dibuka semula di bawah Kerangka Inisiatif Tambahan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (KITA PRIHATIN). GKP 2.0 merupakan bantuan kewangan secara one-off berjumlah RM3,000 kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mikro yang berkelayakan dan tidak pernah menerima GKP sebelum ini. Ia bagi meringankan beban kewangan perniagaan yang dihadapi ekoran penularan wabak COVID-19. Di samping itu bantuan ini bermatlamat meningkatkan produktiviti pengeluaran dan perkhidmatan demi kelangsungan PKS mikro. Di bawah GKP asal yang diumumkan sebelum ini, lebih seramai

final • 10:10 AM

Menteri Kewangan - YM Tengku Dato’ Sri Zafrul Tengku Abdul Aziz

545,000 orang peniaga mikro seluruh negara telah menerima manfaatnya dengan jumlah keseluruhan bantuan sebanyak RM1.63 bilion.

Untuk makluman Yang Berhormat, tempoh permohonan GKP 2.0 telah dibuka antara 1 hingga 31 Oktober 2020 lepas. Permohonan yang telah diterima daripada PKS mikro oleh LHDN adalah berjumlah lebih 512,000. Bagi memastikan PKS mikro yang benar-benar layak menerima bantuan ini demi kelangsungan perniagaan mereka, setiap permohonan akan disemak silang atau verifikasi dengan data agensi yang ditetapkan kerajaan termasuk di peringkat pihak berkuasa tempatan. Berdasarkan jangkaan awal, bilangan yang akan diluluskan jauh melebihi daripada sasaran awal yang ditetapkan iaitu seramai 200,000 PKS mikro. Adalah disasarkan bahawa PKS mikro yang telah memohon untuk GKP 2.0 boleh menyemak status kelulusan melalui 27 November. Manakala, tarikh pembayaran pula dijangka mulai 30 November.

Untuk makluman Yang Berhormat, terdapat juga sebilangan permohonan yang tidak akan diluluskan GKP 2.0. Antara sebab utama adalah tidak memenuhi syarat iaitu memegang lesen daripada pihak berkuasa tempatan atau tidak terdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia. Selain itu, antara sebab adalah tidak memenuhi kriteria PKS mikro iaitu dengan bilangan pekerja melebihi seramai lima orang. Kerajaan amat prihatin akan cabaran yang dihadapi oleh PKS secara amnya termasuk PKS mikro. Oleh itu, GKP 2.0 ini merupakan komitmen berterusan kerajaan. Terima kasih.

final • 10:10 AM

Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Sri Azalina Othman Said

Yang Berhormat-Yang Berhormat, sekarang tamatlah sesi untuk Waktu Pertanyaan- pertanyaan Menteri pada hari ini. Terima kasih.

[Sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri tamat]

final • 10:10 AM
JAWAPAN-JAWAPAN LISAN BAGI PERTANYAAN-PERTANYAAN

1. Dato' Seri Dr. Shahidan bin Kassim [Arau] minta Menteri Pembangunan Luar Bandar menyatakan adakah platform e-dagang ini digunakan sepenuhnya oleh usahawan luar bandar dalam memasarkan produk mereka dan berapa jumlah yang telah mendaftar hingga September 2020 serta apakah usaha yang dibuat untuk mempertingkatkan jumlah pengguna e- dagang.

final • 10:10 AM

Menteri Pembangunan Luar Bandar - Datuk Dr. Haji Abd. Latiff bin Ahmad

Tuan Yang di-Pertua, terima kasih. Soalan daripada Yang Berhormat Arau. Kementerian Pembangunan Luar Bandar menerusi Program DesaMall@KPLB membantu usahawan dalam meningkatkan pemasaran produk secara dalam talian. KPLB telah melaksanakan inisiatif perkongsian strategik yang pelbagai pihak melalui Program DesaMall. Program ini membantu usahawan luar bandar memasarkan produk mereka secara atas talian melalui platform e-dagang seperti Lazada, Shopee, E-bay, CJ Wow Shop. Tuan Yang di-Pertua, dalam bahasa mudah, produk luar bandar dijual dalam luar bandar dan juga mereka yang ada di bandar atau pinggir bandar mempunyai akses kepada produk-produk tersebut. Sekian terima kasih.

final • 10:10 AM

Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Sri Azalina Othman Said

Soalan tambahan.

final • 10:10 AM

Dato’ Seri Dr. Shahidan bin Kassim - Arau

Tiga soalan tambahan tetapi disatukan menjadi satu. Apakah inisiatif KPLB menerusi Program

final • 10:10 AM

Dato’ Seri Dr. Shahidan bin Kassim - Arau

Desamall@KPLB untuk membantu usahawan luar bandar yang terkesan pasca impak pandemik COVID-19 untuk meneruskan perniagaan mereka melalui platform atas talian? Sejauh manakah kerjasama yang dijalankan dengan pihak Kementerian Komunikasi dan Multimedia bagi memastikan tahap capaian internat di setiap lokasi berada dalam keadaan terbaik serta apakah perancangan kementerian untuk meningkatkan hasil penjualan atas talian di dalam dan luar negara? Terima kasih.

final • 10:10 AM

Datuk Dr. Haji Abd. Latiff bin Ahmad

Tuan Yang di-Pertua, soalan yang amat bijak daripada Yang Berhormat Arau. Seperti yang saya nyatakan tadi, produk luar bandar boleh dipasarkan di bandar melalui platform artificial intelligence yang amat berkesan. Sejujurnya berterima kasih kepada COVID-19 kerana dengan COVID-19 keyakinan usahawan dan juga keyakinan pembeli dari desa dan juga bandar bertambah kerana mengikut statistik tahun lepas dengan tahun ini kita dapati lonjakan sebanyak 39 peratus. Ini bermakna, saya bagi contoh pada 11 November baru-baru ini kita membuat sale berjumlah RM42,000 dalam satu hari. Semua produk ini adalah produk luar bandar.

Oleh sebab tiga sudah disatukan. Saya tambah sedikit sahaja Tuan Yang di-Pertua. Bagaimana kerjasama dengan KKMM. Kebetulan saya tadi dah bincang. Kita ada sebanyak 191 buah Pusat Komuniti Desa yang sebahagiannya memang kita tempatkan Desamall offline. Dengan adanya kerjasama antara KKMM dan MCMC, saya berkeyakinan bahawa penetration internet ini akan memudahkan lagi cara produk, marketing serta jualan dapat dipertingkatkan oleh usahawan desa. Terima kasih.

final • 10:10 AM

Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Sri Azalina Othman Said

Yang Berhormat Sekijang...

final • 10:10 AM

Dato’ Seri Dr. Shahidan bin Kassim - Arau

Tuan Yang di-Pertua, perkataan “Terima kasih COVID-19” ditukarkan perkataan ini; “Sesungguhnya ujian Allah SWT itu ada rahmatnya”. Marilah kita bertabah banyak-banyak.

final • 10:10 AM

Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Sri Azalina Othman Said

Tiada dalam peraturan mesyuarat Yang Berhormat Arau.

final • 10:10 AM

Datuk Dr. Haji Abd. Latiff bin Ahmad

Boleh masukkan dalam jawapan saya Tuan Yang di-Pertua.

final • 10:10 AM

Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Sri Azalina Othman Said

Yang Berhormat Sekijang.

final • 10:10 AM

Puan Hajah Natrah Ismail - Sekijang

Terima kasih Tuan Yang di- Pertua. Izinkan saya menyampaikan serangkap pantun; Duduk bersimpuh si anak dara, Sirih pinang penuh beradat, Soalan saya nombor dua, Harap jawapan jelas dan tepat.

final • 10:10 AM

2. Puan Hajah Natrah Ismail [Sekijang] minta Menteri Komunikasi dan Multimedia menyatakan membentangkan keberhasilan Projek Demonstrasi 5G yang telah dijalankan dan apakah kesediaan kementerian dalam memperluas rangkaian 5G ini ke seluruh negara.

final • 10:10 AM

Menteri Komunikasi dan Multimedia - Dato’ Saifuddin Abdullah

Tuan Yang di-Pertua, saya tidak sempat hendak mengarang pantun, terima kasih. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, melalui Projek Demonstrasi 5G Malaysia yang telah dilancarkan sejak bulan Oktober 2019, sejumlah 71 kes kegunaan 5G telah dibangunkan dan didemontrasikan di sejumlah 50 tapak merentasi sebanyak tujuh buah negeri iaitu Kedah, Pahang, Perak, Pulau Pinang, Selangor, Terengganu dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

final • 10:10 AM

Menteri Komunikasi dan Multimedia - Dato’ Saifuddin Abdullah

Projek ini memberi tumpuan kepada sembilan sektor industri iaitu bandar pintar, hiburan dan media, minyak dan gas, pelancongan, pembuatan dan pemprosesan, pendidikan, pengangkutan pintar, penjagaan kesihatan digital dan pertanian. Projek ini dilaksanakan melalui sokongan dan komitmen padu daripada penggiat industri telekomunikasi dan multimedia dengan sumbangan pelaburan dianggarkan sebanyak RM131 juta. Inisiatif ini juga dilihat sebagai usaha memperkenalkan teknologi 5G kepada rakan strategik dalam rantaian nilai seperti pemain industri, agensi-agensi kerajaan, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta syarikat-syarikat pemula (startup) dengan izin melalui kes-kes kegunaan yang didemontrasikan.

Projek demonstrasi 5G juga menunjukkan kejayaan sebagai contoh dalam sektor industri minyak dan gas apabila robot digunakan untuk menggantikan jurutera-jurutera dibuat secara jarak jauh (remote), ia dapat menyelesaikan dua masalah utama bagi industri minyak dan gas terutamanya di platform offshore dengan izin iaitu pertama, keselamatan pekerja dan kedua meningkatkan kecekapan.

Teknologi 5G telah memberi manfaat ketara dalam sektor pelancongan sebagai contoh yang kedua – para pelancong dari dalam dan luar negara berpeluang merasai pengalaman baharu iaitu dengan menggunakan teknologi realiti maya (virtual reality) dengan izin yang menyediakan pemandangan 360 darjah di lokasi-lokasi tarikan pelancong melalui penstriman langsung video HD ke lensa VR atau panel LCD 360 darjah.

final • 10:10 AM

Menteri Komunikasi dan Multimedia - Dato’ Saifuddin Abdullah

Teknologi ini dilihat sebagai sangat bermanfaat, terutamanya bagi golongan orang kurang upaya yang mempunyai kekangan untuk sampai ke lokasi pelancongan tertentu seperti pergunungan ataupun pesisir pantai.

Berdasarkan maklum balas positif yang saya sebut tadi, dua contoh spesifik, manfaat yang begitu jelas, maka kita memutuskan untuk melanjutkan tempoh masa pelaksanaan projek demonstrasi 5G sehingga 31 Disember 2020.

Pelanjutan tempoh ini dilihat bertepatan dengan pengenalan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) yang diumumkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri pada bulan Ogos yang lalu. Pelan JENDELA yang bertujuan untuk mempertingkatkan kesalinghubungan dan kualiti pengalaman perkhidmatan komunikasi akan dilaksanakan secara berfasa di seluruh negara.

Ia menyasarkan 96.9 peratus capaian liputan 4G di kawasan berpenduduk dengan kelajuan jalur lebar mudah 35mbps menjelang akhir tahun 2022. Ini akan menjadi asas yang kukuh untuk mempersiapkan negara bagi peralihan kepada teknologi 5G. Terima kasih.

final • 10:20 AM

Timbalan Yang di-Pertua - Dato' Sri Azalina Othman Said

Soalan tambahan.

final • 10:20 AM

Puan Hajah Natrah Ismail - Sekijang

Soalan tambahan saya, buat masa ini terdapat kurang daripada 20 peratus kawasan seluruh negara mempunyai capaian internet yang lemah. Soalan saya, adakah dengan memperluas rangkaian 5G ini akan terus meletakkan negara pada tahap sifar kawasan capaian internet yang amat lemah agar tidak ada rakyat yang tercicir untuk menikmati kesalinghubungan digital yang mampan, menyeluruh, berkualiti dan mampu milik untuk kesejahteraan rakyat? Terima kasih.

final • 10:20 AM

Timbalan Yang di-Pertua - Dato' Sri Azalina Othman Said

Silakan.

final • 10:20 AM

Dato' Saifuddin Abdullah

Tuan Yang di-Pertua, soalan Yang Berhormat memang sangat tepat. Isu yang selalu dibincangkan ialah 5G tetapi kita selalu mengingatkan bahawa yang paling utama, priority ialah seperti yang Yang Berhormat sebutkan, kesalinghubungan. Kita tahu di mana kelemahan- kelemahan dan cabaran-cabaran yang kita mesti atasi dan itu kita sudah

final • 10:20 AM

Dato' Saifuddin Abdullah

sebutkan dalam Pelan JENDELA. Berbalik kepada 5G, pada kita, kita akan roll out, dengan izin, 5G ini pada hujung tahun 2022 atau pada awal 2023 dengan perancangan dan sasaran yang tertentu dan teliti. Ukurannya ialah ketersediaan dari segi kesalinghubungan yang disebutkan tadi. Tidak guna kita ada 5G di setengah-setengah tempat tetapi di kawasan pedalaman, luar bandar, 4G pun tidak ada dan sebagainya.

Ketersediaan rakyat untuk menerimanya, ketersediaan dari segi kawal selia. Apakah caj yang akan dikenakan kepada rakyat, ketersediaan supaya dapat mengelakkan jurang digital bentuk baru pula. Nanti 5G, yang tidak ada G dan sebagainya dan juga ketersediaan industri. Oleh kerana kita jangka 70 peratus daripada penggunaan 5G ini ialah di kalangan para industri dan 30 peratus di kalangan rakyat biasa. Ini Tuan Yang di-Pertua, penting sebab perancangan dan sasaran yang tertib dan tertentu adalah lebih baik daripada terikut-ikut dengan pemasaran dan kempen oleh vendor-vendor yang hendak melakukan teknologi 5G mereka atau tergesa-gesa tanpa persiapan yang rapi.

Terima kasih.

final • 10:20 AM

Timbalan Yang di-Pertua - Dato' Sri Azalina Othman Said

Yang Berhormat Tuan Haji Yusuf bin Abd. Wahab.

final • 10:20 AM

Tuan Haji Yusuf bin Abd. Wahab - Tanjong Manis

Terima kasih Tuan Yang di-Pertua; Teguh kita menang bersama, Soalan Tanjong Manis nombor tiga.

final • 10:20 AM

3. Tuan Haji Yusuf bin Abd. Wahab [Tanjong Manis] minta Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan menyatakan adakah perancangan untuk menubuhkan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) di kawasan kampung dan rumah panjang terpencil di Tanjung Manis seperti Paloh Berangan, Mupong, Krubong, Sare dan Pulau Bruit.

final • 10:20 AM

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan - Dato’ Sri Dr. Haji Ismail bin Abd Mutallib

*Bismillaahir Rahmaanir Rahiim.

Assalamualaikum warahmatullaahi wabarakaatuh* dan salam sejahtera. Terima kasih Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua, Terima kasih Yang Berhormat Tanjong Manis di atas keprihatinan terhadap kebajikan dan keselamatan masyarakat, terutama di kawasan beliau dan dapat mengeratkan hubungan di antara agensi-agensi, termasuklah Jabatan Bomba.

Tuan Yang di-Pertua, untuk makluman Yang Berhormat, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia telah melaksanakan pelbagai langkah awal bagi menangani risiko kebakaran di kawasan kampung dan rumah panjang terpencil seperti yang dinyatakan oleh Yang Berhormat.

Antara langkah yang telah diambil ialah dengan menubuhkan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) di Pulau Bruit pada 17 Jun 2020. Jumlah keanggotaan PBS di pulau ini setakat ini adalah seramai 20 orang. Mereka telah dibekalkan dengan peralatan operasi seperti hos, pakaian perlindungan diri seperti jaket kalis api dan juga pam air pemberian daripada Jabatan Ketua Menteri Sarawak di bawah Program Community Emergency, Response Team (CERT), dengan izin.

Selain daripada itu, JPM negeri Sarawak juga merancang untuk menubuhkan Pasukan Bomba Komuniti di kampung dan rumah panjang di kawasan Mupong, Kerubong, Sare dan Paloh. Dalam masa yang sama juga, Jabatan Bomba akan terus melaksanakan Program Summer Camp dan outreach, dengan izin, dengan kerjasama pelbagai agensi serta badan bukan kerajaan (NGO).

final • 10:20 AM

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan - Dato’ Sri Dr. Haji Ismail bin Abd Mutallib

Program-program CERT, Summer Camp dan outreach merupakan program yang dilaksanakan bagi mempersiapkan masyarakat dan komuniti bina kemahiran mereka untuk menghadapi sebarang keadaan kecemasan. Pada masa yang sama juga, mempromosikan semangat kesukarelaan di kalangan penduduk dan anggota bomba. Peserta program akan diajar cara-cara pemadaman kebakaran, penyelamat serta lain-lain ilmu berkaitan keselamatan kebakaran dan sebagainya.

Untuk perancangan jangka panjang, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia akan menilai keberkesanan pelaksanaan program-program ini, termasuk kewajaran untuk menubuhkan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) di kawasan-kawasan berkenaan. Di kesempatan ini, KPKT ingin menyeru pihak Yang Berhormat Tanjong Manis dan Adun kawasan dapat menyokong serta membantu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dalam melaksanakan program kesedaran di peringkat berkenaan.

Untuk makluman, Pasukan Bomba Sukarela di seluruh negara berjumlah 399 pasukan dengan 14,813 ahli. Manakala jumlah Pasukan Bomba Sukarela di Sarawak 47 pasukan dengan jumlah keahlian 2,147 ahli. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.

final • 10:20 AM

Timbalan Yang di-Pertua - Dato' Sri Azalina Othman Said

Soalan tambahan.

final • 10:20 AM

Tuan Haji Yusuf bin Abd. Wahab - Tanjong Manis

Terima kasih Yang Berhormat Timbalan Menteri di atas jawapan yang begitu baik sekali. Saya memang mengalu-alukan jawapan tersebut. Untuk makluman, kebakaran selalunya bermula daripada kecil sehingga menjadi besar dan tidak terkawal dan memusnahkan sebuah rumah ataupun sederet rumah panjang. Latihan dan langkah-langkah awal memadam kebakaran adalah menjadi sangat penting sebagaimana pentingnya Pasukan Bomba Sukarela yang saya sebutkan tadi.

Soalan saya, bolehkah kementerian KPKT membekalkan alat-alat pemadam api, fire extingusher dan water pump kepada setiap kampung dan rumah panjang di kawasan saya? Ini kita boleh buat sebagai satu projek CSR, Yang Berhormat Timbalan Menteri. Saya menyokong langkah-langkah yang telah disebutkan oleh Yang Berhormat Timbalan Menteri. Kalau KPKT dapat membekalkan barang-barang ini, saya menyokong, saya sanggup menghantar barang-barang tersebut free of charge. Terima kasih Yang Berhormat Timbalan Menteri.

final • 10:20 AM

Dato’ Sri Dr. Haji Ismail bin Abd Mutallib

Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, Terima kasih Yang Berhormat Tanjong Manis. Inilah semangat yang ingin kita bina di kalangan Ahli-ahli Parlimen kita.

Tuan Yang di-Pertua, untuk makluman, saya dimaklumkan Yang Berhormat Tanjong Manis telah banyak memberikan bantuan kepada penduduk di rumah-rumah panjang di kawasan Tanjong Manis, termasuklah bantuan pemadam api dan sebagainya. Di sini, di Tanjong Manis terdapat 120 rumah panjang dengan 2,005 pintu unit. Yang Berhormat Tanjong Manis, saya berjanji, insya-Allah dengan peruntukan baru diluluskan nanti, kita akan melihat. Saya simpati dengan nasib yang dialami oleh penduduk-penduduk rumah panjang, di mana apabila berlaku kebakaran, memang amat sukar untuk menyelamatkan rumah-rumah berkenaan. Bahkan, apabila kita sampai, kita tengok semua rumah telah musnah.

Jadi, insya-Allah saya akan minta pasukan bomba menyiasat apakah keperluan bantuan yang boleh diberikan kepada kawasan rumah panjang ini.

Insya-Allah kalau COVID-19 ini selesai, insya-Allah saya akan turun bersama dengan Yang Berhormat bagi melihat keperluan-keperluan di kawasan berkenaan. Terima kasih Yang Berhormat.

final • 10:20 AM

Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Sri Azalina Othman Said

Yang Berhormat Timbalan Menteri jangan lupa Pengerang. Sekarang saya menjemput Yang Berhormat Tuan Baru Bian.

final • 10:30 AM

4. Tuan Baru Bian [Selangau] minta Menteri Kanan Pendidikan menyatakan apakah status terkini perancangan SMK Long Semadoh, Lawas, Sarawak, yang telah dianggarkan bernilai RM35 juta, yang telah diumumkan oleh Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air ketika itu sebelum Pilihan Raya Negeri Sarawak 2016. Bilakah pembinaan akan dimulakan.

final • 10:30 AM

Timbalan Menteri Pendidikan II - Tuan Muslimin bin Yahaya

Bismillahir Rahmanir Rahim, Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam sejahtera, selamat pagi. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Terima kasih kepada Yang Berhormat Selangau. Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sentiasa komited dalam usaha menyediakan prasarana dan kemudahan infrastruktur pendidikan yang selesa kepada semua murid di seluruh negara.

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, bagi menampung keperluan pendidikan di peringkat menengah untuk penduduk di Parlimen Lawas, jadi untuk makluman Dewan yang mulia ini Parlimen Lawas merupakan kawasan Yang Berhormat Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar II Yang Berhormat. KPM menyediakan empat buah sekolah menengah kebangsaan

(SMK) iaitu SMK Lawas, SMK Merapok, SMK Terusan dan SMK Sundar.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak tiga buah sekolah mempunyai kemudahan asrama bagi murid yang tinggal jauh dari kawasan sekolah.

Kesemua SMK ini melaksanakan persekolahan satu sesi dan murid-murid setempat dapat meneruskan pengajaran dan pembelajaran peringkat menengah di sekolah arus perdana dalam keadaan selesa memandangkan sekolah-sekolah ini masih lagi beroperasi di bawah kapasiti sebenar. Pada masa ini kapasiti sekolah sedia ada adalah antara 68 peratus hingga 85 peratus manakala kapasiti asrama pula adalah antara 68.5 peratus hingga 92 peratus.

KPM mengambil maklum bahawa terdapat cadangan pembinaan SMK Long Semadoh di Lawas Sarawak. Bagi memperhalus cadangan berkenaan, KPM melalui Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sarawak telah membuat analisis data enrolmen murid selama tiga tahun iaitu mulai dari tahun 2017, tahun 2018 dan tahun 2019 untuk menilai kewajaran pembinaan SMK Long Semadoh.

Berdasarkan analisis yang dilaksanakan, JPN Sarawak mendapati pada masa ini belum ada keperluan mendesak bagi pembinaan SMK baharu di kawasan ini termasuklah pembinaan SMK Long Semadoh.

Sehubungan ini, KPM berpendirian bahawa kapasiti kesemua sekolah menengah dan asrama sekolah sedia ada masih mencukupi dan berupaya untuk menampung keperluan pendidikan murid-murid di kawasan Lawas termasuk juga bagi kawasan Long Semadoh. Kemudahan asrama yang disediakan oleh sekolah akan dapat memenuhi keperluan murid yang tinggal jauh dari kawasan sekolah.

Oleh demikian, tiada keperluan untuk membina SMK baharu di Parlimen Lawas dalam tempoh terdekat. Sekiranya terdapat keperluan untuk membina sekolah baharu pada masa hadapan, KPM akan mengambil langkah yang sewajarnya bagi tujuan tersebut. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.

final • 10:30 AM

Tuan Baru Bian - Selangau

Terima kasih atas jawapan Yang Berhormat Menteri ya. Tuan Yang di-Pertua, sebenarnya rancangan untuk membina SMK Long Semadoh ini telah diambil lebih sepuluh tahun yang lalu oleh kerajaan yang lalu. Saya percaya ada sebab-sebab kenapa SMK Long

final • 10:30 AM

Tuan Baru Bian - Selangau

Semadoh ini dirancang kerana ini adalah satu buah sekolah di pedalaman Sarawak dan saya percaya juga selepas 10 tahun keadaan tidak berubah dan apa komen dari Yang Berhormat Menteri.

Saya tahu mengenai kapasiti itu adalah satu reason ya dengan izin kenapa ini tidak diteruskan. Kedua, kalau boleh bajetnya masih ada, bolehkah ini diagihkan untuk membina baharu sekolah SK yang begitu usang, misalnya SK Ba Kelalan? Terima kasih.

final • 10:30 AM

Tuan Muslimin bin Yahaya

Terima kasih kepada Yang Berhormat Selangau. Sebenarnya pengumuman berkaitan dengan pembinaan sekolah baharu di SMK Long Semadoh Lawas, Sarawak ini diumumkan oleh Yang Berhormat Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air pada waktu itu pada tahun 2016.

Kesan daripada pengumuman tersebut, pihak Kementerian Pendidikan telah membuat kajian secara menyeluruh keperluan adakah perlu ataupun tidak sekolah ini dilaksanakan pembinaannya. Jadi dalam kajian yang dibuat sebagai mana yang saya nyatakan tadi Yang Berhormat, pada tahun 2017, tahun 2018 dan tahun 2019 telah mendapati bahawa tidak ada keperluan untuk kita membina sekolah tersebut di kawasan Lawas kerana kita ada empat buah sekolah yang berhampiran dengan kapasiti yang masih tidak lagi memenuhi keperluan di kawasan persekitaran.

Jadi, untuk pertanyaan Yang Berhormat berkaitan dengan sekolah- sekolah daif yang dinyatakan tadi selain SMK Long Semadoh, ada SK Long Luping, ada SK Ba Kelalan, dan SK Long Sukang. Dalam pengumuman bajet yang baru ini diumumkan sebanyak RM725 juta, Insya-Allah pada hari Isnin akan diperincikan oleh Yang Berhormat Menteri Kanan Pendidikan dalam sesi penggulungan. Terima kasih kepada Yang Berhormat Selangau. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.

final • 10:30 AM

Datuk Hajah Azizah binti Mohd Dun - Beaufort

Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.

Buah nangka buah Delima, Dikemukakan soalan Nombor 5.

final • 10:30 AM

5. Datuk Hajah Azizah binti Mohd Dun [Beaufort] minta Menteri Pengajian Tinggi menyatakan berapa jumlah sebenar pelajar IPTA dan IPTS yang masih berada di kampus dan juga yang berada di rumah selepas pengumuman penangguhan kemasukan pelajar ke kampus sesi 2020/2021 semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

final • 10:30 AM

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi - Dato’ Mansor bin Othman

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua dan juga Yang Berhormat Beaufort. Kementerian telah meluluskan agar sesi pendaftaran dan kemasukan pelajar baharu atau sedia ada secara bersemuka ke kampus yang dirancang pelaksanaannya pada bulan Oktober 2020 ditangguhkan.

Keputusan ini dibuat berikutan berlakunya peningkatan bilangan kes penularan pandemik COVID-19 secara mendadak di dalam negara. Ia juga selaras dengan arahan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat

(PKPB) yang dikuatkuasakan oleh kerajaan atas nasihat Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Namun begitu, kementerian tetap peka dan prihatin dalam memberi pertimbangan khas kepada pelajar yang mempunyai keperluan bagi terus kekal berada di dalam kampus. Antara pelajar yang diberikan pertimbangan adalah mereka yang memerlukan kemudahan teknikal khusus seperti fasiliti makmal di

final • 10:30 AM

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi - Dato’ Mansor bin Othman

dalam kampus dan pelajar yang memerlukan persekitaran yang lebih kondusif atau yang mempunyai masalah capaian internet bagi meneruskan proses pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian.

Sehingga 16 November 2020, sejumlah 50,889 atau 7.9 peratus daripada 646,094 orang pelajar universiti awam, politeknik dan kolej komuniti masih berada di dalam kampus. Manakala daripada 234 Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS), terdapat seramai 113,297 orang pelajar juga berada di kampus selepas pengumuman penangguhan pendaftaran pelajar sesi 2020/2021 secara bersemuka. Sekian, terima kasih Tuan Yang di-Pertua.

final • 10:30 AM

Datuk Hajah Azizah binti Mohd Dun - Beaufort

Saya rasa keputusan yang dibuat oleh kerajaan untuk tidak memerlukan pendaftaran pelajar di kampus adalah satu keputusan terbaik kerana dapat mengelakkan kemungkinan penularan COVID-19 di kalangan para pelajar. Dalam masa yang sama, saya ingin bertanya kepada kementerian adakah kementerian dapat memastikan bagi mereka yang masih berada di rumah kualiti pembelajaran para pelajar terjamin melalui kuliah secara online.

Apakah kesannya kepada pengajaran yang memerlukan kehadiran di makmal dan clinical studies? Adakah kaedah alternatif yang membolehkan pelajar ke makmal bagi mereka yang masih berada di rumah kerana hanya tujuh peratus sahaja yang berada di kampus? Terima kasih.

final • 10:30 AM

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi - Dato’ Mansor bin Othman

Terima kasih di atas soalan tambahan Yang Berhormat Beaufort yang selalu peka tentang kepentingan dan kebajikan pelajar-pelajar kita.

Untuk soalan yang pertama iaitu untuk menjamin kualiti supaya ia terjamin dalam menghadapi pandemik COVID-19 ini dengan kaedah pembelajaran yang baharu, pihak kementerian berusaha untuk tangani isu ini dengan memberi beberapa kemudahan internet yang disediakan.

Jadi kementerian senantiasa prihatin terhadap pelajar IPT terutama di kawasan luar bandar yang sukar mendapat akses kepada internet bagi mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran PdP secara dalam talian.

final • 10:30 AM

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi - Dato’ Mansor bin Othman

Antara respons strategik kementerian untuk mengatasi perkara itu ialah:-

(i) menyalurkan maklumat kepada 871 lokasi kemudahan pusat internet di bawah seliaan Kementerian Komunikasi dan Multimedia;

(ii) bagi pelajar yang keluarga B40 di universiti awam turut mendapat pelan data bagi capaian internet kepada pelajar-pelajar ini;

(iii) menyediakan bantuan pemilikan peranti kepada lebih daripada 8,965 pelajar daripada kalangan keluarga B40; dan

(iv) memberikan bantuan tunai sebanyak RM50 secara one-off kepada setiap pelajar baharu bagi sesi akademik 2020/2021.

Jadi itu dari segi kemudahan bantuan internet yang diberikan kepada pelajar-pelajar kita yang terlibat.

Di samping itu juga, Tuan Yang di-Pertua, bagi pelajar-pelajar yang masih di dalam kampus― isu kedua yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Beaufort itu tentang kompetensi dan juga kualiti pembelajaran di makmal. Ini selalu juga diberi perhatian untuk pelajar yang digalakkan untuk hadir di dalam

final • 10:40 AM

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi - Dato’ Mansor bin Othman

kampus bagi tujuan-tujuan yang khusus yang terpaksa mengikuti program- program yang memerlukan kehendak-kehendak teknikal.

Sekian, terima kasih Tuan Yang di-Pertua.

final • 10:40 AM

6. Tuan Chong Chieng Jen [Stampin] minta Menteri Kewangan menyatakan berapakah BSH yang telah dibayar dalam tahun 2019 dan 2020 dan angka pecahan untuk setiap negeri dan wilayah.

final • 10:40 AM

Timbalan Menteri Kewangan I - Datuk Abd Rahim bin Bakri

Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Untuk makluman Yang Berhormat Stampin, Bantuan Sara Hidup adalah bantuan yang disasarkan kepada golongan B40 iaitu golongan yang berpendapatan kurang daripada RM4,000 sebulan.

Bantuan kesejahteraan rakyat ini adalah diberi kepada semua yang layak tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang politik.

Pada tahun 2019, kerajaan telah membelanjakan sebanyak RM4.727 bilion yang memberi manfaat kepada 3.857 juta rakyat Malaysia. Manakala bagi tahun 2020, jumlah penerima BSH seluruh negara adalah seramai 4.3 juta orang melibatkan peruntukan RM4.738 bilion. Bagi penerima dari negeri Sarawak, pada tahun 2019 adalah RM523 juta yang melibatkan sejumlah 443,000 isi rumah. Manakala pada tahun 2020, jumlah peruntukan BSH bagi negeri Sarawak ialah sebanyak RM553 juta dengan jumlah penerima 491,000 orang.

Terima kasih Yang Berhormat.

final • 10:40 AM

Tuan Chong Chieng Jen - Stampin

Soalan tambahan. Terima kasih Yang Berhormat Timbalan Menteri.

Berkenaan permohonan BSH, saya mendapati bahawa ada segolongan daripada mereka memiliki saham di satu atau dua syarikat. Maka permohonan mereka ditolak kerana mereka memiliki saham. Ini telah menimbulkan banyak ketidakadilan kerana pemilikan saham mereka itu kebanyakannya― kadangkala sedikit jumlahnya. Syarikat yang mana mereka memiliki saham itu pun tidak ada diberi dividen. Walaupun ada dividen, kadangkala dividen ini amat kecil. Dividen yang mereka terima, kalau ada, dan tambah juga pendapatan mereka, mereka masih di dalam golongan B40. Akan tetapi, oleh sebab syarat yang ditetapkan oleh kerajaan bahawa sekiranya mereka ada memiliki saham, permohonan untuk BSH akan ditolak.

Maka oleh itu, saya minta pertimbangan daripada kerajaan supaya memberi pertimbangan kepada golongan itu supaya meluluskan permohonan mereka untuk BSH sekiranya pendapatan mereka ditambah dividen, mereka masih di bawah golongan B40.

Satu kes yang spesifik yang saya minta untuk pertimbangan diberikan oleh kerajaan iaitu berkenaan dengan permintaan Gabungan Pemilik Teksi Kuching Berhad. Syarikat itu ada 200 lebih pemilik teksi yang menjadi pemegang saham. Mereka menubuhkan syarikat itu...

final • 10:40 AM

Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Sri Azalina Othman Said

Yang Berhormat, soalan panjang sangat.

final • 10:40 AM

Tuan Chong Chieng Jen - Stampin

Hendak habis sudah.

final • 10:40 AM

Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Sri Azalina Othman Said

Sudah lepas masa, Yang Berhormat.

final • 10:40 AM

Tuan Chong Chieng Jen - Stampin

Ya, ya. Minta sedikit sahaja. Ini kes spesifik. Oleh sebab mereka ada saham di syarikat itu..

final • 10:40 AM

Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Sri Azalina Othman Said

Yang Berhormat, soalan Yang Berhormat, bukan perbahasan.

final • 10:40 AM

Tuan Chong Chieng Jen - Stampin

...Permohonan BSH mereka ditolak.

final • 10:40 AM

Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Sri Azalina Othman Said

Soalan, Yang Berhormat. Soalan.

final • 10:40 AM

Tuan Chong Chieng Jen - Stampin

Soalan saya adalah untuk meminta pertimbangan kerajaan dan Yang Berhormat Timbalan Menteri untuk meluluskan pemegang saham di syarikat itu bagi bayaran BSH. Kalau perlu, saya boleh bekalkan senarai pemegang saham itu kepada Yang Berhormat Timbalan Menteri. Sekian, terima kasih.

final • 10:40 AM

Datuk Abd Rahim bin Bakri

Terima kasih Yang Berhormat Stampin.

Berkaitan dengan isu kelayakan bagi seseorang penerima BSH, sebenarnya apa yang telah tertera ialah setiap orang itu haruslah mempunyai pendapatan kurang daripada RM4,000. Isu-isu berkaitan dengan ada pihak-pihak tertentu yang memiliki saham dan sebagainya, itu adalah merupakan isu-isu spesifik.

Mungkin Yang Berhormat boleh menyampaikan kepada kita untuk dibincang dan dipertimbangkan.

Ini kerana yang penting sekali, tujuan kita memberikan BSH ini adalah untuk memberikan bantuan kepada golongan-golongan yang terjejas, khususnya mereka yang berpendapatan rendah. Ini adalah merupakan usaha kerajaan bagi menyejahterakan rakyat.

Berkaitan dengan isu spesifik itu, saya minta Yang Berhormat bekalkan kepada saya untuk saya bincangkan dengan pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri. Terima kasih Yang Berhormat.

final • 10:40 AM

7. Tuan Jugah anak Muyang @ Tambat [Lubok Antu] minta Menteri Pembangunan Luar Bandar menyatakan langkah-langkah yang dirancang untuk membasmi kemiskinan dari sudut Industri Kecil dan Sederhana (IKS) penduduk kampung dan rumah panjang di Parlimen P.203 Lubok Antu, Sarawak.

final • 10:40 AM

Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar II - Dato’ Henry Sum Agong

Terima kasih Tuan Yang di-Pertua dan Yang Berhormat Lubok Antu.

Untuk makluman Yang Berhormat, pihak Majlis Amanah Rakyat

(MARA), sebuah agensi kerajaan di bawah kementerian terlibat dalam pemberian pembiayaan seperti Skim Pembiayaan Kontrak Ekspres (SPIKE), Skim Pembiayaan Belia Putera dan Skim Pembiayaan Mudah Jaya dan Wanita di kawasan Parlimen P.203 Lubok Antu bagi tahun 2019 dan 2020.

Selain itu, terdapat juga penerima geran Business Advancement and Standard Development (BASD). Manakala seramai 35 orang peserta telah menyertai latihan anjuran MARA iaitu Kursus Transformasi Produk dan Step by Step Guide to Halal Certification.

GIATMARA Lubok Antu pula menawarkan dua kursus jangka pendek iaitu Sijil Kimpalan dan Fabrikasi Logam serta Sijil Teknologi Automatif dengan jumlah pelatih pada masa sekarang adalah seramai 25 orang. Melalui Program Rintis Niaga, terdapat seramai 22 orang pelatih yang tamat latihan telah pun menceburi bidang keusahawanan.

Bagi perancangan latihan masa hadapan di Sri Aman atau Lubok Antu, MARA akan memberi penumpuan ke atas kursus pembangunan transformasi produk, pemasaran atas talian dan seni kraf tangan Sarawak. Sekian, terima kasih.

final • 10:40 AM

Tuan Jugah a/k Muyang @ Tambat - Lubok Antu

Terima kasih Yang Berhormat Timbalan Menteri. Soalan tambahan saya. Apakah jenis bantuan dan berapakah jumlah bantuan yang diperuntukkan di kawasan Parlimen Lubok

final • 10:40 AM

Tuan Jugah a/k Muyang @ Tambat - Lubok Antu

Antu khususnya untuk perniagaan kecil dan juga penternakan ikan akuakultur?

Terima kasih.

final • 10:40 AM

Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Sri Azalina Othman Said

Yang Berhormat Menteri.

final • 10:50 AM

Dato’ Henry Sum Agong

Terima kasih Yang Berhormat di atas soalan tambahan. Tuan Yang di-Pertua, dengan kelulusannya bajet untuk tahun hadapan, pihak kementerian khususnya agensi-agensi di bawah kementerian akan meneruskan program-program seperti mana yang saya sebutkan tadi.

Walau bagaimanapun, tidak kesemua bantuan kepada golongan yang memerlukan datangnya daripada kementerian KPLB ataupun MARA.

Terdapat pelbagai agensi kerajaan yang turut memberikan bantuan bagi pembangunan keusahawanan umpamanya bantuan berkaitan dengan insentif atau galakan pengeluaran akuakultur adalah di bawah Jabatan Perikanan Malaysia, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), manakala untuk peniaga-peniaga kecil bagi bantuan berbentuk pinjaman mikro kredit adalah di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC). Sekian, terima kasih.

final • 10:50 AM

8. Dato' Dr. Xavier Jayakumar a/l Arulanandram [Kuala Langat] minta Menteri Tenaga dan Sumber Asli menyatakan berapa jumlah lot yang terlibat dengan pengambilan tanah untuk projek ECRL dan apakah status terkini pengambilan tanah serta pampasan yang diberi di negeri-negeri terlibat?

final • 10:50 AM

Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli - Tuan Ali anak Biju

Terima kasih Yang Berhormat Kuala Langat. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.

Sehingga kini sebanyak 16,151 lot tanah-tanah telah dikenal pasti untuk dibuat pengambilan untuk projek East Coast Rail Link (ECRL). Daripada jumlah tersebut, sebanyak 963 lot tanah di negeri Pahang yang melibatkan daerah Kuantan, Maran, Bera dan Temerloh serta daerah Kemaman di negeri Terengganu telah diwartakan di bawah seksyen 8, Akta Pengambilan Tanah 1960 [Akta 486]. Siasatan pengambilan di Seksyen B

(Dungun-Mentakab) tersebut telah selesai dan jumlah pampasan yang telah dibayar adalah berjumlah RM313.35 juta, manakala RM55.85 juta lagi berada dalam proses pembayaran.

Bagi negeri Kelantan, sebanyak 1,546 lot tanah telah dikemukakan untuk diwartakan di bawah seksyen 8 Akta 486 dan kini berada dalam peringkat kelulusan pihak berkuasa tempatan negeri Kelantan. Manakala sebanyak 13,642 lot tanah telah dikemukakan permohonan untuk diwartakan di bawah seksyen 4 Akta 486.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 6,556 lot di negeri Terengganu, sebanyak 1,537 lot di negeri Selangor, sebanyak 4,749 lot di Negeri Sembilan dan sebanyak 81 lot di Wilayah Persekutuan Putrajaya telah diwartakan di bawah seksyen 4, Akta 486. Sebanyak 719 lot di negeri Pahang berada dalam peringkat kelulusan pihak berkuasa tempatan negeri Pahang.

Permohonan yang dibuat di bawah seksyen 4 Akta 486 ini adalah bagi membolehkan pihak Malaysia Rail Link dan kontraktor memasuki tapak untuk menjalankan kajian kesesuaian tanah sebelum dikemukakan permohonannya pengambilan tanah seksyen 8 akta yang sama. Terima kasih.

final • 10:50 AM

Dato’ Dr. Xavier Jayakumar a/l Arulanandam - Kuala Langat

Soalan tambahan. Adakah jajaran ECRL telah dimuktamadkan dan juga sekiranya berlaku perubahan jajaran di Seksyen C, adakah ia memberikan kesan kepada proses pengambilan tanah sedia ada? Saya tanya soalan ini sebab saya hendak

final • 10:50 AM

Dato’ Dr. Xavier Jayakumar a/l Arulanandam - Kuala Langat

tahu adakah tidak jajaran ini akan melalui Hutan Simpan Kuala Langat Utara pada masa sekarang?

final • 10:50 AM

Tuan Ali anak Biju

Terima kasih Yang Berhormat Kuala Langat. Satu soalan yang memang tepat sekali. Jajaran projek East Coast Rail Link yang melibatkan Seksyen A (Kota Bharu-Dungun) dan Seksyen B (Dungun- Mentakab) telah dimuktamadkan dan urusan pengambilan tanah yang sedang dilaksanakan oleh kementerian ini.

Berkenaan dengan cadangan perubahan jajaran ECRL di Seksyen C

(Mentakab-Port Klang), ke jajaran asal iaitu melalui Bentong, Gombak dan seterusnya ke Port Klang, perkara ini masih berada di peringkat kajian oleh Kementerian Pengangkutan.

Mengenai soalan yang kedua tadi iaitu pengambilan tanah di dalam jajaran Seksyen C, pada masa ini, pengambilan tanah bagi jajaran Seksyen C yang melibatkan negeri Selangor, Negeri Sembilan dan Wilayah Persekutuan Putrajaya telah diwartakan di bawah seksyen 4 Akta Pengambilan Tanah 1960.

Warta tersebut akan luput tempoh selama 12 bulan dari tarikh penyiarannya.

Namun begitu, sekiranya berlaku perubahan dan pengambilan tanah tersebut tidak diteruskan, kerajaan perlu membayar pampasan atas sebarang kerosakan yang berlaku ke atas tanah semasa kajian tanah dilaksanakan dalam tempoh pewartaan di bawah seksyen 4. Jika berlaku perubahan jajaran di Seksyen C, maka lot-lot tanah yang dikenal pasti perlulah diwartakan di bawah seksyen 4 terlebih dahulu bagi membolehkan kajian keseluruhan kesesuaian tanah dilaksanakan dan disusuli dengan pewartaan di bawah seksyen 8, APT 1960 bagi membolehkan proses pengambilan tanah dibuat. Terima kasih.

final • 10:50 AM

9. Dato' Haji Mohd Fasiah bin Haji Mohd Fakeh [Sabak Bernam] minta Menteri Kewangan menyatakan langkah-langkah institusi perbankan untuk terus membantu isi rumah dan perniagaan yang memerlukan bantuan selepas moratorium berakhir pada 30 September 2020 dan nyatakan jumlah permohonan untuk bantuan bayaran balik pinjaman serta kadar kelulusannya.

final • 10:50 AM

Timbalan Menteri Kewangan I - Datuk Abd Rahim bin Bakri

Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Untuk makluman Yang Berhormat Sabak Bernam, kerajaan telah memberikan moratorium ke atas pinjaman bank selama enam bulan secara pukal sebagai sebahagian daripada langkah Pakej Rangsangan Ekonomi, Prihatin Rakyat atau PRIHATIN untuk membantu meringankan beban rakyat dan perniagaan akibat kejutan pandemik COVID-19 pada bulan Mac 2020 yang lalu.

Walau bagaimanapun, lanjutan itu bermula pada 1 Oktober 2020, kerajaan telah melaksanakan moratorium secara bersasar khusus kepada individu dan isi rumah atau PKS yang kehilangan pekerjaan dan pendapatan terjejas sepanjang tahun 2020 sehingga tahun 2021.

Inti pati moratorium bersasar yang bermula pada 1 Oktober 2020 tersebut ialah penangguhan bayaran balik pinjaman selama tiga bulan atau pengurangan bayaran ansuran bulanan sepadan dengan pengurangan pendapatan selama enam bulan. Peminjam boleh memaklumkan melalui saluran peminjam yang disediakan seperti perbankan internet secara dalam talian atau menerusi Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK). Mereka hanya perlu mengemukakan penyata bank terkini, pencirian kendiri pendapatan terjejas akibat sekatan pergerakan. Seperti mana yang telah diumumkan dalam Laporan LAKSANA, nilai yang dianggarkan untuk moratorium selama enam bulan bermula –berjumlah kira-kira RM100 bilion dengan sebanyak RM35 bilion kepada PKS dan sebanyak RM65 bilion kepada peminjam individu.

final • 10:50 AM

Timbalan Menteri Kewangan I - Datuk Abd Rahim bin Bakri

Bagi moratorium bersasar yang dilaksanakan bermula 1 Oktober, sekitar 650,000 orang peminjam telah diterima dengan kelulusan sebanyak 98 peratus dan daripada permohonan yang diluluskan tersebut, sebanyak 40 peratus telah memohon perlanjutan moratorium. Mereka terdiri terutamanya daripada individu yang baru sahaja kehilangan pekerjaan serta perniagaan dalam sektor yang mungkin masih mengalami kekangan operasi yang ketara akibat pandemik dan sebanyak 60 peratus telah memilih pengurangan bayaran ansuran bulanan. Mereka terdiri terutamanya daripada peminjam yang pendapatannya telah berkurang. Terima kasih Yang Berhormat.

final • 10:50 AM

Dato’ Haji Mohd Fasiah bin Mohd Fakeh - Sabak Bernam

Terima kasih kepada Yang Berhormat Timbalan Menteri yang telah memberikan jawapan-jawapan sebentar tadi dan ini telah melegakan para peminjam di luar sana.

final • 10:50 AM

Dato’ Haji Mohd Fasiah bin Mohd Fakeh - Sabak Bernam

Soalan tambahan saya, adakah kerajaan bercadang supaya institusi perbankan melakukan pengorbanan dengan melanjutkan tempoh moratorium bagi peminjam? Ini kerana, bagi pihak bank, ia masih lagi mencapai keuntungan dan langkah ini akan memberikan manfaat kepada pihak bank dalam jangka panjang dan adakah kerajaan bercadang untuk institusi perbankan ini mempertimbangkan untuk memberi tempoh peminjam hanya perlu membayar ansuran bulanan bahagian faedah sahaja? Sekian terima kasih.

final • 11:00 AM

Datuk Abd Rahim bin Bakri

Terima kasih Yang Berhormat.

Sememangnya banyak isu yang dibangkitkan berkaitan dengan moratorium ini.

Akan tetapi, mungkin banyak yang tidak sedar bahawa apabila tamat pada 30 September, kita sebenarnya telah meneruskan moratorium, tetapi ia adalah kepada kumpulan bersasar. Ini adalah ditujukan kepada mereka- yang memohon kerana mungkin ada juga pihak-pihak yang tidak mahu menyertai moratorium ini.

Oleh sebab itu, apabila kerajaan memperkenalkan moratorium bersasar, ia sebenarnya adalah bertujuan untuk membolehkan mereka yang benar-benar terkesan untuk dapat mengambil peluang bagi mendapatkan khidmat moratorium ini. Walau bagaimanapun, cadangan-cadangan tersebut akan nanti dijawab selanjutnya oleh Yang Berhormat Menteri Kewangan dalam penggulungan perbahasan nanti. Terima kasih Yang Berhormat.

final • 11:00 AM

Timbalan Yang di-Pertua - Dato' Sri Azalina Othman Said

Terima kasih. Yang Berhormat, sekarang tamatlah sesi untuk waktu pertanyaan- pertanyaan bagi jawapan lisan pada hari ini.

[Masa untuk Pertanyaan-pertanyaan bagi Jawab Lisan tamat]

final • 11:00 AM

Tuan Nga Kor Ming - Teluk Intan

[Bangun] Tuan Yang di-Pertua, boleh izinkan saya kemukakan soalan?

final • 11:00 AM

Timbalan Yang di-Pertua - Dato' Sri Azalina Othman Said

Tidak sempat Yang Berhormat.

final • 11:00 AM

Tuan Nga Kor Ming - Teluk Intan

Sedikit sahaja.

final • 11:00 AM

Timbalan Yang di-Pertua - Dato' Sri Azalina Othman Said

Saya dah terangkan.

final • 11:00 AM

Tuan Nga Kor Ming - Teluk Intan

Sudah sampai ke soalan 10.

final • 11:00 AM

Timbalan Yang di-Pertua - Dato' Sri Azalina Othman Said

Ada seramai 21 orang pembahas dan hari ini adalah hari terakhir untuk perbahasan peringkat dasar. Saya minta maaf ya.

final • 11:00 AM

Tuan Nga Kor Ming - Teluk Intan

Ya, terima kasih.

final • 11:00 AM

Timbalan Yang di-Pertua - Dato' Sri Azalina Othman Said

Silakan Setiausaha.

final • 11:00 AM
RANG UNDANG-UNDANG
RANG UNDANG-UNDANG PERBEKALAN 2021 Bacaan Kali Yang Kedua DAN USUL ANGGARAN PEMBANGUNAN 2021

Aturan Urusan Mesyuarat dibacakan bagi menyambung semula perbahasan yang ditangguhkan atas masalah, “Bahawa Rang Undang-undang Perbekalan 2021 ini dibacakan kali yang kedua sekarang” dan “Bahawa Usul yang berikut ini dirujuk kepada Jawatankuasa sebuah-buah Majlis.” “Bahawa Dewan ini, mengikut subseksyen 4(3) Akta Kumpulan Wang Pembangunan 1966 [Akta 406], membuat ketetapan iaitu suatu jumlah wang sebanyak tidak lebih dari enam puluh sembilan bilion ringgit (RM69,000,000,000) dibelanjakan daripada Kumpulan Wang Pembangunan bagi tahun 2021, dan bagi tujuan dan butiran Perbelanjaan Pembangunan yang dinyatakan di bawah Maksud Pembangunan atau (“P”) dalam senarai Anggaran Perbelanjaan Persekutuan 2021, yang dibentangkan sebagai Kertas Perintah 26 Tahun 2020, adalah diuntukkan di bawah Maksud-maksud yang berkenaan jumlah- jumlah yang bersetentangan dengan butiran-butiran itu di ruangan enam dan tujuh senarai tersebut.” [****18 November 2020****]

final • 11:00 AM

Timbalan Yang di-Pertua - Dato' Sri Azalina Othman Said

Ahli-ahli Yang Berhormat, hari ini ada seramai 21 orang pembahas. Saya akan sebut tujuh nama yang teratas dahulu, Yang Berhormat Bagan Datuk, Yang Berhormat Kota Melaka, Yang Berhormat Tanjong Manis, Yang Berhormat Pasir Gudang, Yang Berhormat Lubok Antu, Yang Berhormat Raub, Yang Berhormat Rompin, Yang Berhormat Bayan Baru sampai Yang Berhormat Kimanis, Yang Berhormat Segambut, Yang Berhormat Bentong, Yang Berhormat Lembah Pantai, Yang Berhormat Baling, Yang Berhormat Kubang Pasu, Yang Berhormat Arau dan Yang Berhormat Beruas. Itu setakat pukul dua ya, saya harap insya-Allah.

Sekarang saya menjemput Yang Berhormat Bagan Datuk. Saya dimaklumkan oleh Tuan Yang di-Pertua, selama 20 minit. Terima kasih.

[Tepuk]

final • 11:00 AM

Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi - Bagan Datuk

Assalamualaikum warahmatullaahi wabarakaatuh dan salam sejahtera. Tuan Yang di-Pertua, demi menjunjung titah nasihat Ke Bawah Duli Yang Mulia Yang di-Pertuan Agong, saya turut sama melontarkan pandangan terhadap Bajet 2021 dengan hasrat untuk mencadangkan penambahbaikan dan saranan-

final • 11:03 AM

Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi - Bagan Datuk

saranan untuk turut melibatkan kumpulan-kumpulan rakyat yang tidak mendapat faedah secara terus melalui Bajet 2021.

Tuan Yang di-Pertua, sebelum itu saya ingin mengucapkan syabas kepada Yang Berhormat Menteri Kewangan yang pada hemat saya telah membentangkan satu belanjawan yang baik. Biarpun beliau bukan orang politik, namun sebagai ahli profesional dalam bidang perbankan dan korporat, beliau dengan segera memahami keperluan politik dan menghadamkan kesengsaraan rakyat.

Sebagai insan biasa tentunya Yang Berhormat Menteri Kewangan bukan maksum, ertinya jauh daripada kesempurnaan. Tentunya terdapat beberapa kekurangan dalam Bajet 2021 yang mana saya mengharapkan semua Ahli Yang Berhormat di Dewan yang mulia ini sedia memahaminya. Namun Yang Berhormat Menteri Kewangan telah melakukan engagement bersama- sama dengan Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang. Sikap yang terpuji seperti yang dilakukan oleh beliau harus diakui oleh kita. Ini merupakan satu keterbukaan yang amat kita alu-alukan. Malah beberapa adjustment dengan izin, saya yakin akan terus dilakukan demi melihat ekonomi negara akan keluar daripada perangkap kepayahan yang luar biasa sekarang.

Bajet 2021 merupakan bajet pertama selepas kejatuhan kerajaan yang lalu. Bajet ini merupakan di penghujung kepada Rancangan Malaysia Ke-11.

Selepas ini negara akan dihidangkan pula dengan Rancangan Malaysia Ke-12.

Tentunya selepas ini suatu rancangan ekonomi jangka sederhana dan jangka panjang sekurang-kurangnya untuk lima tahun mendatang akan turut dibahaskan di Dewan yang mulia ini. Menelusuri keluarbiasaan yang akan kita hadapi, saya pernah menyarankan supaya diadakan gencatan politik (political ceasefire). Kita juga telah menyarankan national reconciliations untuk negara supaya terus mara ke hadapan bagi membolehkan sebarang kerapuhan ekonomi dan politik demi memberi keutamaan kepada rakyat.

Saya tentunya turut menghargai Yang Amat Berhormat Perdana Menteri yang menerima Titah Ke Bawah Duli Yang Amat Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja tanpa tindakan melaksanakan Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan. Saya tidak boleh menyembunyikan rasa kesal sekiranya kerajaan berjaya melaksanakan perkara itu dalam menghadapi situasi politik ekonomi dan pandemik.

Kalau jernih air di hulu, Jernihlah juga di kuala, Kalau sungguh ingin maju, Elak sengketa dan terus mara. Tuan Yang di-Pertua, Bajet 2021 diharapkan oleh semua golongan rakyat untuk turut memperkirakan post-COVID-19 economic recovery plan.

Malah kerajaan wajib melakukan perancangan pemulihan ekonomi kerana rakyat mahu merasai bahawa mereka bukan sekadar diberikan ikan, tetapi rakyat mesti turut diberikan kail. Kail inilah yang diharapkan oleh kumpulan B40 atau M40 tanpa melupakan kumpulan T20 yang turut menyumbangkan sebagai salah satu pemangkin ekonomi negara. Kumpulan M40 turut ramai terkesan, mungkin sebahagian daripada mereka kini berada dalam kumpulan B40.

Malah kumpulan industri PKS yang merupakan sejumlah 38.9 peratus penyumbang KDNK amat-amat terkesan dan kumpulan ini wajib diberikan keprihatinan khusus. Kumpulan yang hilang pekerjaan yang jumlahnya bertambah setiap hari, malah jumlah pengangguran ketara dan tidak ketara hendaklah jangan dikesampingkan. Rakyat sengsara kerana ramai yang mengalami no food on the table dan no money in the pocket. Malah turut kehilangan tempat berteduh.

final • 11:03 AM

Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi - Bagan Datuk

Tuan Yang di-Pertua, lantas daripada itu lihatlah semua kumpulan agar tidak ada kumpulan rakyat yang terpinggir dan berkecil hati. Ini termasuklah kumpulan profesional dan teknikal yang kehilangan pekerjaan atau terpaksa beralih ke bidang yang berada di luar bidang profesion mereka dan di luar kemahiran mereka. Mereka terpaksa memilih atau mencari pekerjaan demi kelangsungan hidup berkeluarga. Lihatlah juga doktor-doktor persendirian yang terpaksa klinik-klinik persendirian mereka ditutup. Kumpulan General Practitioners doctors (GP doctors) yang dulunya merasa diberikan peruntukan khas apabila mereka diberikan peluang untuk melayani pesakit-pesakit melalui Klinik-klinik 1Malaysia tetapi kini tidak ada lagi.

final • 11:03 AM

Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi - Bagan Datuk

Mereka kekurangan dan kehilangan pesakit dalam keadaan sekarang.

Bagaimana pula dengan pengusaha-pengusaha bas persiaran, bas sekolah, bas ekspres dan bas kilang yang rata-rata turut terjejas dan menerima tekanan untuk terus melakukan pembayaran bulanan dari syarikat credit and leasing, syarikat-syarikat sewa beli yang tidak tertakluk untuk memberikan moratorium.

Lebih-lebih lagi syarikat-syarikat pinjaman berlesen turut menekan termasuk peminjam-peminjam kenderaan sewa beli.

Syarikat-syarikat ini tidak tertakluk kepada Financial Services Act (FSA) yang berada di bawah Bank Negara. Saya menyokong disegerakan pelaksanaan Akta Kredit Pengguna. Saya amat bersimpati dengan mereka ini.

Saya harap kumpulan-kumpulan ini, terutamanya pengusaha-pengusaha bas sekolah yang kini tanpa murid dan pelajar yang ke sekolah kerana sekolah ditutup.

Pengusaha bas persiaran yang selama ini menjadi penyumbang dalam industri pelancongan, mereka turut sengsara akibat kemuraman sektor pelancongan. Mereka juga turut terus membayar sewa beli bulanan, di samping tekanan syarikat-syarikat insurans yang mengenakan premium insurans yang tinggi.

Bagaimanakah pula dengan moratorium kepada penyewa-penyewa premis perniagaan di bawah GLC sendiri dan badan-badan kerajaan? Begitu juga penyewa-penyewa rumah PPR, rumah murah, rumah mampu milik yang tidak diberikan moratorium. Walaupun sepatutnya badan kerajaan atau syarikat tempatan ataupun PBT harus mendahulukan dan mengikuti apa yang disarankan oleh Yang Berhormat Menteri Kewangan.

Namun, mereka belum berbuat demikian. Bagaimanakah pula penyewa-penyewa premis perniagaan? Malah, GLC yang menyewakan premis perniagaan tidak memberikan moratorium kepada penyewa-penyewa berkenaan kecuali Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan beberapa GLC yang lain. Akan tetapi kita harus mengambil kepedulian akan perkara ini.

Tuan Yang di-Pertua, saya harap Yang Berhormat Menteri Kewangan mengambil kepedulian juga terhadap peminjam kenderaan persendirian yang membeli kereta terpakai atau secondhand cars kerana mereka juga meminjam kepada syarikat-syarikat kredit ini. Mereka juga tidak diberikan moratorium. Kita harus juga melihat bagaimana yuran pelajar-pelajar universiti wajib dikurangkan.

Ini kerana melibatkan sejumlah 1.1 juta orang pelajar di IPTA dan IPTS.

Belia-belia dan lepasan sekolah yang merupakan penganggur yang tidak ketara mesti juga turut diberikan kepedulian. Dahulu sebelum kerajaan ini dan kerajaan sebelum itu, telah memberikan kepedulian kepada mereka.

Saya merayu agar Yang Berhormat Menteri Kewangan, mengarahkan agar institusi kewangan, syarikat-syarikat kewangan yang berlesen, walaupun bukan di bawah bidang Yang Berhormat Menteri Kewangan tetapi di bawah kementerian lain, agar bersimpati dengan peminjam-peminjam yang hilang pekerjaan dan kekurangan pendapatan.

final • 11:10 AM

Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi - Bagan Datuk

Mereka harus mengakui hakikat, mereka tidak akan- hingga ‘gulung tikar’ kerana apa yang akan berlaku ialah only delayed earning, dengan izin, ataupun pendapatan yang akan terlewat sedikit. Lebih penting, keuntungan tetap ada tetapi reduced the profit, dengan izin. Tuan Yang di-Pertua, saya juga ingin menyentuh beberapa isu yang pada hemat saya perlu diberikan penekanan.

final • 11:10 AM

Datuk Seri Haji Ahmad bin Haji Maslan - Pontian

Yang Berhormat Bagan Datuk, Pontian. Boleh mencelah sedikit? Terima kasih. Yang Berhormat Bagan Datuk telah menyatakan tentang moratorium secara menyeluruh. Kita sokong moratorium automatik 2.0 kepada pelbagai pihak dan ia adalah sesuai dalam zaman sukar ini. Yang Berhormat Bagan Datuk pernah menjadi banker iaitu bekerja dan juga Pengerusi BSN, tentu mengetahui bahawa bank mampu untuk memberi moratorium menyeluruh selain daripada moratorium yang disebut untuk TEKUN, untuk PUNB, Amanah Ikhtiar dan sebagainya.

Kedua, alang-alang- KWSP ini ada orang sebut, ‘keluar wang sendiri pun payah’. Keluar wang sendiri pun payah. Jadi, apa pandangan Yang Berhormat Bagan Datuk supaya cadangan Yang Berhormat Pekan, sebelah itu, kita teruskan iaitu yang RM10,000? Apakah pandangan Yang Berhormat Bagan Datuk? Terima kasih.

final • 11:10 AM

Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi - Bagan Datuk

Saya bersetuju dengan Yang Berhormat Pekan kerana atas budi baik Yang Berhormat Menteri Kewangan kita semalam telah mengadakan majlis dialog bersama-sama juga CEO, ‘keluar wang sendiri pun payah’. Namun, beberapa adjustment telah dilakukan. Saya yakin adjustment ini sesuai dengan saranan Yang Berhormat Pekan.

[Tepuk] Manakala moratorium, saya lihat komitmen Yang Berhormat Menteri Kewangan, biarpun kita tahu bahawa syarikat-syarikat kewangan berlesen tidak tertakluk kepada FSA tetapi saya yakin dan koordinasi ini akan dilakukan. Inilah satu komitmen kerajaan yang baik.

[Tepuk]

final • 11:10 AM

Tuan Kesavan a/l Subramaniam - Sungai Siput

Sungai Siput.

final • 11:10 AM

Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi - Bagan Datuk

Oleh sebab tujuh minit terakhir ini saya ingin menyentuh mengenai beberapa perkara yang ada kaitan secara tidak langsung dalam bajet ini. Tuan Yang di-Pertua, dalam politik harus ada kejujuran, baik sebagai rakan politik atau atas nama dokongan, secara piagam atau persefahaman, secara bertulis atau secara konvensyen, secara tersurat atau tersirat. Penterjemahan terhadap kejujuran bukan hanya sekadar persetujuan lisan tetapi terhadap pelaksanaannya.

Tiada soalan mengenai siapa yang berbudi atau siapa yang terhutang budi tetapi bagaimana kebersamaan harus diterjemahkan.

[Tepuk] Soal tipu muslihat politik hendaklah diketepikan. Apabila kejujuran politik diberikan keutamaan, jangan ada “telunjuk lurus, kelingking berkait”.

[Tepuk] Jadilah seperti air dalam pembentung. Biarpun airnya berkocak, namun airnya tidak akan tumpah keluar. Jika penutupnya adalah kejujuran.

Kita ambil ibrah atau pengajaran sirah Perjanjian Tahkim iaitu antara Muawiyah bin Abi Sufyan dan juga Abu Musa Asy-Syari supaya Perjanjian Tahkim yang berbentuk muslihat politik ini tidak berlaku antara rakan-rakan kongsi politik. Kejatuhan empayar-empayar terdahulu apabila pemimpin- pemimpinnya yang merasakan dirinya popular melupakan soal-soal pokok dan mengutamakan isu-isu furuk atau cabang. Ikhlas dan jujurlah. Rakyat di luar sana mengharapkan sesuatu yang terbaik untuk mereka. Rakyat mesti diberikan keutamaan.

Dewan yang mulia ini merupakan pentas terbaik untuk negara ini berada dalam situasi politik yang stabil sama ada terdapat usul undi percaya atau sebaliknya, ia hendaklah diuji di Dewan yang mulia ini.

[Tepuk] Jika ini tidak dapat dilakukan kerana kekangan peraturan mesyuarat, sesuatu mesti

final • 11:10 AM

Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi - Bagan Datuk

dipersesuaikan dengan urusan kerajaan mesti diutamakan. Biarlah kerajaan sendiri yang menjadikannya sebagai urusan kerajaan diutamakan iaitu menjadikan Usul Undi Percaya dibawa ke Dewan yang mulia ini.

[Tepuk]

final • 11:10 AM

Dato’ Mahfuz bin Haji Omar - Pokok Sena

Cantik, setuju!

final • 11:10 AM

Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi - Bagan Datuk

Proklamasi darurat adalah bukan pilihan. Malah, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Yang di- Pertuan Agong dan Majlis Raja-raja telah pun menolaknya.

[Tepuk] Apatah lagi percubaan untuk mencadangkan proklamasi darurat seluruh negara dalam apa bentuk sekalipun, wajib ditolak oleh Ahli Dewan yang mulia ini.

[Tepuk] Namun, rakyat menerima proklamasi darurat setempat seperti yang telah diumumkan untuk Batu Sapi. Kita memahami situasi itu. Secara ideal, keterlibatan rakyat hendaklah diberikan keutamaan. Ia hendaklah dikembalikan kepada rakyat sesegera yang mungkin. Suara rakyat, suara keramat.

[Tepuk] Dari rakyat kita diberi mandat, kepada rakyat juga kita serahkan mandat.

[Tepuk]

final • 11:10 AM

Dato’ Mahfuz bin Haji Omar - Pokok Sena

Dengar itu Yang Berhormat Arau.

final • 11:10 AM

Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi - Bagan Datuk

Dalam perkara ini...

final • 11:10 AM

Dato’ Seri Dr. Shahidan bin Kassim - Arau

Kami menang, jangan bimbang.

final • 11:10 AM

Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi - Bagan Datuk

...kita ketepikan perbezaan sama ada di sebelah sini atau di sebelah sana, demi rakyat, demi Dewan yang mulia ini. Marilah kita bersatu hati.

[Tepuk]

final • 11:10 AM

Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi - Bagan Datuk

Untuk melihat bahawa mandat rakyat harus diberikan semula dan mandat rakyat adalah mandat keramat. Baik itu datang daripada Allah, kelemahan itu datang daripada saya.

Tuan Yang di-Pertua...

final • 11:20 AM

Datuk Seri Haji Ahmad bin Haji Maslan - Pontian

Boleh, Yang Berhormat Bagan Datuk? Sikit lagi.

final • 11:20 AM

Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi - Bagan Datuk

Saya mematuhi lebih awal daripada arahan...

final • 11:20 AM

Datuk Seri Haji Ahmad bin Haji Maslan - Pontian

Saya hendak minta― apa yang disebut oleh Yang Berhormat Bagan Datuk tadi adalah suatu yang menarik untuk difikirkan iaitu bagi memastikan bahawa tidak ada sebarang keraguan kepada kerajaan yang ada. Jadi untuk memastikan perkara itu, kita wajar menyokong apa yang beliau nyatakan.

Kedua ialah― kembali kepada bajet ini. Saya ada mencadangkan kepada Yang Berhormat Pekan, adakah Yang Berhormat Bagan Datuk bersetuju jika untuk kali pertama dalam sejarah― Yang Berhormat Menteri Kewangan, terima kasih kerana beliau ada di sini. Timbalan-timbalan menterinya pun ada. Iaitu membuat perubahan-perubahan ataupun kenyataan- kenyataan Menteri bagi memperbetulkan perkara-perkara dalam ucapan bajetnya ataupun menambah baik yang mana boleh ditambah baik terutama untuk masuk dua perkara yang kita pohon dan juga perkara-perkara soalan yang dipohon oleh Ahli-ahli Yang Berhormat dalam Dewan ini. Apa pandangan Yang Berhormat Bagan Datuk?

final • 11:20 AM

Timbalan Yang di-Pertua - Dato' Mohd Rashid Hasnon

Sila, Yang Berhormat Bagan Datuk.

final • 11:20 AM

Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi - Bagan Datuk

Saya tidak boleh untuk tidak bersetuju dengan Yang Berhormat Pontian. Satu pandangan yang baik kerana kita melihat sendiri keterbukaan Yang Berhormat Menteri Kewangan.

[Tepuk] Engagement yang beliau lakukan bukan hanya sekadar dengan Ahli- ahli Parlimen, malah secara individu beliau membincangkan secara terperinci untuk mendapatkan pandangan peribadi. Saya tidak nampak ada Menteri Kewangan sebelum beliau dan, insya-Allah, tidak ada selepas beliau yang melakukan perkara yang sama.

Adjustment ini melalui Ministerial Statement boleh dilakukan dan kita nanti akan ada peringkat jawatankuasa yang akan memperincikan butiran- butiran. Saya fikir bukan hanya sekadar beliau tetapi menteri-menteri lain juga harus mengambil sikap keterbukaan yang sama supaya kita mesti bersetuju untuk tidak bersetuju dan bersetuju untuk bersetuju. Supaya beberapa perkara yang menjadi perkara cabang, apatah lagi perkara fraud harus dikesampingkan.

Apa yang penting ialah rakyat. Ini kerana kita berada di Dewan yang mulia ini adalah penterjemahan mandat rakyat kepada kita, insya-Allah.

final • 11:20 AM

Timbalan Yang di-Pertua - Dato' Mohd Rashid Hasnon

Terima kasih Yang Berhormat Bagan Datuk.

final • 11:20 AM

Dato’ Mahfuz bin Haji Omar - Pokok Sena

Hidup Yang Berhormat Bagan Datuk.

final • 11:20 AM

Timbalan Yang di-Pertua - Dato' Mohd Rashid Hasnon

Seterusnya saya ingin menjemput Yang Berhormat Kota Melaka. Masa 10 minit.

final • 11:20 AM

Tuan Khoo Poay Tiong - Kota Melaka

Tuan Yang di-Pertua, terima kasih kerana memberi peluang kepada saya untuk bahas Bajet 2021.

Tuan Yang di-Pertua, saya hendak mulakan dengan kongsikan satu kisah benar. Seorang datuk jaga cucunya kerana anak dan menantunya sekarang berada di Singapura. Di Singapura, mereka sebelum itu bekerja di sana, tetapi sekarang mereka menganggur di Singapura tetapi tidak boleh balik ke Malaysia.

Baik, sekarang ialah CMCO. Sekolah minta supaya cucunya belajar secara online, tetapi di rumahnya tiada komputer. Jadi pihak sekolah telefon datuknya, kata kalau tidak ikut online belajar, maka akan tolak markah. Apa datuk buat? Datuk terpaksa pergi pinjam daripada orang. Datuk terpaksa pergi jual barang yang bernilai di rumah dia, tetapi wang masih tidak cukup. Apa dia buat? Wang yang sepatutnya dibelanjakan untuk beli ubat, dia pakai wang tersebut untuk belikan komputer tersebut. Akhirnya apa berlaku? Datuk tersebut oleh kerana beberapa hari tidak makan ubat, kena strok.

Daripada kisah benar ini kita boleh lihat bahawa rakyat di luar sana semuanya susah. Kisah ini memberitahu kepada kita, rakyat mereka hendak beli satu komputer pun tidak ada wang. Dia nak beli komputer secondhand sahaja pun tidak ada wang. Sistem belajar yang kita ada, kita minta supaya pelajar semua pergi online belajar, tetapi ada banyak masalah. Ramai orang tak mampu terutamanya daripada golongan B40, tidak boleh beli komputer. Ini masalahnya.

Ya, masalah kita ada satu juta rakyat Malaysia yang berada di Singapura yang mereka tidak dapat balik ke sini, tidak dapat kerja di Singapura, tidak dapat bawa balik wang ke Malaysia. Satu juta keluarga mereka yang berada di Malaysia juga menghadapi masalah. Ini hakikat yang berlaku di luar sana. Ini sungguh menyedihkan kita.

final • 11:23 AM

Tuan Khoo Poay Tiong - Kota Melaka

Akan tetapi, apa yang kita lihat? Ada pihak yang tidak bertanggungjawab yang cuba hendak menggunakan COVID-19 hendak kaitkan dengan bajet supaya hendak isytiharkan darurat. Inilah golongan yang kita harus kutuk. Perbuatan mereka sungguh keji sekali, Tuan Yang di-Pertua. Saya rasa marah. Marah apabila lihat ada orang cuba hendak ambil kesempatan ini.

Saya lagi marah apa, Tuan Yang di-Pertua? Semalam saya lihat ada satu dokumentari daripada Al-Jazeera yang berkaitan dengan skandal 1MDB.

Sebelum ini kita pernah dengar Yang Berhormat Pekan bahawa dia merupakan mangsa kepada penipuan Jho Low. Akan tetapi, dalam dokumentari tersebut, Jho Low pula kata dia merupakan mangsa kepada penipuan yang dilakukan oleh Yang Berhormat Pekan. Jadi kita hendak tanya, sekarang sama ada Yang Berhormat Pekan tipu Jho Low ataupun Jho Low tipu Yang Berhormat Pekan?

[Tepuk] Apa yang saya tahu, Yang Berhormat Pekan tipu rakyat Malaysia, seluruh Malaysia ditipu oleh Yang Berhormat Pekan.

[Tepuk] Ini sebab Jho Low kata wang lebih daripada satu bilion dimasukkan ke dalam akaun Yang Berhormat Pekan itu bukannya daripada ahli keluarga diraja Arab Saudi tetapi adalah daripada wang di dalam 1MDB.

final • 11:23 AM

Datuk Seri Haji Ahmad bin Haji Maslan - Pontian

Yang Berhormat Kota Melaka, boleh mencelah?

final • 11:23 AM

Tuan Khoo Poay Tiong - Kota Melaka

Jho Low juga kata, Tuan Yang di-Pertua, Jho Low juga kata...

final • 11:23 AM

Datuk Seri Haji Ahmad bin Haji Maslan - Pontian

Yang Berhormat Kota Melaka.

final • 11:23 AM

Tuan Khoo Poay Tiong - Kota Melaka

Jho Low sudi buat settlement dengan DOJ di USA, Amerika Syarikat untuk jualkan aset-aset, pulangkan semua aset-aset untuk bayar hutang 1MDB.

final • 11:23 AM

Datuk Seri Haji Ahmad bin Haji Maslan - Pontian

Tidak bagi benarkan mencelah?

final • 11:23 AM

Tuan Khoo Poay Tiong - Kota Melaka

Akan tetapi Yang Berhormat Pekan yang melarang Jho Low untuk berbuat begitu.

final • 11:23 AM

Datuk Seri Haji Ahmad bin Haji Maslan - Pontian

Kita tahu bahawa apa yang disebut oleh Yang Berhormat Kota Melaka ini telah disebut dalam mahkamah...

final • 11:23 AM

Tuan Khoo Poay Tiong - Kota Melaka

Tuan Yang di-Pertua, sebab itu saya...

final • 11:23 AM

Datuk Seri Haji Ahmad bin Haji Maslan - Pontian

...Dan ia akan dibawa lagi ke Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

final • 11:23 AM

Tuan Khoo Poay Tiong - Kota Melaka

...Ingin mencadangkan kepada Parlimen supaya PAC...

final • 11:23 AM

Datuk Seri Haji Ahmad bin Haji Maslan - Pontian

Jadi, adalah tidak bagus untuk mereka membuat tuduhan-tuduhan begitu dalam Dewan yang mulia ini.

final • 11:23 AM

Tuan Khoo Poay Tiong - Kota Melaka

Yang Berhormat Pontian, sila duduk. Saya tidak bagi you masa.

final • 11:23 AM

Timbalan Yang di-Pertua - Dato' Mohd Rashid Hasnon

Saya minta Yang Berhormat Pontian duduk. Sila.

final • 11:23 AM

Tuan Khoo Poay Tiong - Kota Melaka

Tuan Yang di-Pertua, sebab itu saya hendak cadangkan kepada PAC supaya kita jalankan satu siasatan yang menyeluruh terhadap apa yang disebut oleh Jho Low, kita heretkan Yang

final • 11:23 AM

Tuan Khoo Poay Tiong - Kota Melaka

Berhormat Pekan dengan Jho Low datang ke Parlimen dan buat penerangan secara live di PAC tersebut untuk kita hendak tahu apa yang berlaku sebenarnya.

Tuan Yang di-Pertua, saya juga hendak mengingatkan Yang Berhormat Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Ahli Parlimen Tanjong Piai yang masih belum membuat penjelasan terhadap laporan PAC yang telah siap yang mengatakan beliau terlibat dalam satu direct contract, direct award kepada syarikat beliau.

[Tepuk] Kalau kita lihat laporan ini, sebanyak 24 kali soalan ditanya, jawapannya ialah “Saya tidak tahu”. Bila mahu dapat projek, dia tahu. Bilamana ada projek, dia tahu mahu pergi direct tender dapat projek. Akan tetapi bila datang ke PAC bagi penjelasan, sebanyak 24 kali cakap, “Saya tidak tahu”. Laporan SPRM telah dibuat. Saya harap supaya SPRM ambil tindakan dengan secepat mungkin.

[Tepuk] Tuan Yang di-Pertua, kita semua tahu industri pelancongan merupakan antara sektor yang paling terkesan oleh wabak COVID-19. Sektor pelancongan adalah antara penyumbang terbesar GDP negara iaitu lebih kurang 15 peratus.

Akan tetapi, kerajaan kelihatan tidak memberi sokongan dan bantuan yang sepenuhnya kepada mereka.

Saya merujuk kepada kenyataan Malaysian Association of Tour and Travel Agent (MATTA) dan Malaysian Association of Hotel (MAH). Mereka adalah wakil industri ini telah menyatakan kekecewaan mereka terhadap Belanjawan 2021. Menurut MATTA, mereka menyatakan, dengan izin, “The budget has failed to meet the needs of tourism enterprise particularly SMEs and does not address the key issue of protecting jobs”.

final • 11:23 AM

Tuan Khoo Poay Tiong - Kota Melaka

Sebenarnya mereka ada buat beberapa cadangan. Cadangan dan permintaan mereka adalah munasabah. Antaranya, yang pertama, pelanjutan moratorium untuk industri pelancongan sehingga bulan Jun 2021.

[Tepuk] Kedua, peningkatan subsidi upah. Ketiga, rebat untuk bil elektrik dan bil air.

Keempat, peluasan pelepasan cukai sehingga RM8,000 untuk aktiviti pelancongan domestik dan yang terakhir, permintaan mereka ialah geran sejumlah RM20 juta untuk digitalkan platform online mereka. Ya, saya rasa ini satu permintaan yang munasabah. Kalaulah kita boleh beri JASA RM81 juta, takkanlah RM20 juta untuk sektor pelancongan tidak boleh dipertimbangkan Tuan Yang di-Pertua.

[Tepuk] Seterusnya, saya ingin mencadangkan supaya kerajaan mewujudkan satu skim jaminan yang barangkali boleh dinamakan sebagai Skim Jaminan Pendapatan Sementara. Kita lihat dalam sektor pelancongan, terdapat ramai peniaga kecil seperti penjaja cenderahati, penarik beca, gerai makanan dan hotel bajet. Mereka sudah kehilangan sumber pendapatan kerana tiada pelancong. Jadi buat masa sekarang, memang sukar untuk kerajaan merangsang sektor pelancongan. Ya, kita semua faham, mungkin ia akan mengambil masa dua hingga empat tahun lagi untuk pulih. Jadi bagaimanakah kerana boleh mengurangkan beban para peniaga di sektor pelancongan sementara mereka boleh beralih ke sektor lain?

Jadi cadangan saya ialah supaya kerajaan laksanakan satu program yang mungkin boleh dinamakan sebagai Skim Jaminan Pendapatan Sementara yang mana kerajaan terus memberikan RM1,000 sebulan selama enam bulan berturut-turut kepada peniaga kecil di sektor pelancongan. Ini akan menjadikan ia sebagai jaminan pendapatan kepada mereka untuk enam bulan supaya mereka tidak perlu risau, bimbang tiada pendapatan dan tiada makanan untuk keluarga mereka. Maka pada masa yang sama, mereka boleh fokus untuk mencari kerja atau memulakan perniagaan kecil di sektor yang lain.

final • 11:30 AM

Tuan Khoo Poay Tiong - Kota Melaka

Isu seterusnya yang saya hendak kaitkan ialah berkaitan dengan moratorium. Saya hendak kaitkan moratorium dengan M40. Ya, kita lihat ...

final • 11:30 AM

Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Mohd Rashid Hasnon

Minta rumuskan ya, 30 saat.

final • 11:30 AM

Tuan Khoo Poay Tiong - Kota Melaka

Ya. Tuan Yang di-Pertua, dalam keadaan COVID-19 ini, golongan M40 juga terkesan teruk, ramai yang dipotong gaji ataupun pengurangan daripada segi elaun. Jadi masalah utama M40 biasanya ialah pinjaman kereta dan pinjaman perumahan. Jadi di sini kita berharap supaya lanjutkan moratorium selama enam bulan kepada golongan M40 dan juga B40. Kosnya hanya sekadar RM6.4 bilion. Saya rasa boleh ditanggung. Kalau kita lihat laporan bank untuk enam bulan pertama, rata-rata semua membuat keuntungan. Maybank untung RM3 bilion, Public Bank untung RM2.3 bilion, Hong Leong Bank juga untung RM1.1 bilion. Semuanya untung.

Takkan tidak boleh tolong rakyat. Ini ialah banker jaga banker kah, kerajaan hendak jaga rakyat? Itu saya hendak minta supaya kerajaan mempertimbangkan.

Isu yang seterusnya Tuan Yang di-Pertua, yang akhir sekali ...

final • 11:30 AM

Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Mohd Rashid Hasnon

You tidak boleh kata seterusnya Yang Berhormat.

final • 11:30 AM

Tuan Khoo Poay Tiong - Kota Melaka

Ia mengenai Skim Insurans Pekerjaan (EIS) yang mana buat masa kini tidak terbuka untuk mereka yang bekerja sendiri. Sedangkan kita tahu di Malaysia terdapat 2.7 juta pekerja yang dikategorikan sebagai bekerja sendiri. Maka cadangan saya kepada Kementerian Sumber Manusia ialah untuk memperluaskan skim EIS kepada golongan yang bekerja sendiri supaya membenarkan mereka yang bekerja sendiri ini boleh membuat caruman untuk EIS. Maka, apabila perniagaan mereka tutup, sekurang-kurangnya, mereka boleh mendapat bantuan kewangan untuk sementara.

Tuan Yang di-Pertua, kita dalam normal baharu ini semua kita go online, online belajar, online beli barang, perkhidmatan online sehingga ada online nikah. Nikah juga online. Jadi saya hendak meminta supaya Jabatan Kebajikan pertimbangkan supaya permohonan bantuan kebajikan itu dibuat secara online. Buat masa kini, pemohon terpaksa pergi ke pejabat Jabatan Kebajikan. Jadi saya hendak minta supaya Jabatan Kebajikan boleh mengamalkan online. First layer, beri mereka online memohon dulu. Kalau sudah lulus semua kelayakan, barulah pergi melawat rumah mereka.

final • 11:30 AM

Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Mohd Rashid Hasnon

Terima kasih Yang Berhormat, terima kasih.

final • 11:30 AM

Tuan Khoo Poay Tiong - Kota Melaka

Ini dalam normal yang baharu.

final • 11:30 AM

Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Mohd Rashid Hasnon

Baik.

final • 11:30 AM

Tuan Khoo Poay Tiong - Kota Melaka

Akhir sekali Tuan Yang di- Pertua, ini juga berkaitan dengan online dan juga cara untuk kita, barangkali kerajaan boleh meningkatkan pendapatan iaitu sekarang ini kalau kita lihat di kedai beli tiket nombor Magnum dan Sports Toto, mereka tidak ada online tetapi Big Sweep ada online. Jadi oleh kerana ramai pengunjung sudah tidak pergi ke kedai Sports Toto ataupun Magnum sebab mereka perlu scan MySejahtera, perlu scan suhu mereka, mereka tidak pergi sana beli, apa mereka buat?

Mereka beli daripada sindiket illegal gambling. Jadi saya hendak meminta supaya pihak kerajaan boleh pertimbangkan memandangkan Sports Toto dengan Magnum mereka adalah syarikat pemegang lesen gambling yang sah, supaya benarkan mereka untuk mengadakan online service juga.

final • 11:30 AM

Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Mohd Rashid Hasnon

Baik, terima kasih.

final • 11:30 AM

Tuan Khoo Poay Tiong - Kota Melaka

Supaya bukan sahaja kita dapat membanteras COVID-19, kita juga dapat mengurang dan mengatasi masalah sindiket ini. Juga dapat meningkatkan pendapatan kerajaan yang dianggarkan kerugian sebanyak RM2 bilion setahun kerana mereka membeli daripada sindiket yang tidak berlesen itu.

final • 11:30 AM

Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Mohd Rashid Hasnon

Baik, terima kasih Yang Berhormat.

final • 11:30 AM

Tuan Khoo Poay Tiong - Kota Melaka

Sekian, terima kasih Tuan Yang di-Pertua.

final • 11:30 AM

Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Mohd Rashid Hasnon

Sekarang saya menjemput Yang Berhormat Tanjong Manis.

final • 11:30 AM

Tuan Haji Yusuf bin Abd Wahab - Tanjong Manis

Bismillahi Rahmani Rahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Tuan Yang di-Pertua kerana memberikan peluang kepada saya untuk turut berbahas ucapan Belanjawan 2021 dengan tema Teguh Kita, Menang Bersama yang dibentangkan oleh Yang Berhormat Menteri Kewangan pada 6 November 2020 yang lalu.

Buah pedada, buah semangka, Nanas Sarikei manis sekali, Tanjong Manis turut bersuara, Ikhlas berkhidmat untuk pertiwi. Mula-mula, saya ingin menghulurkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua petugas barisan hadapan negara atau frontliners, dengan izin termasuk semua kakitangan CIDB di seluruh negara yang telah berkorban dengan apa cara sekalipun dalam menangani penularan COVID-19. Tuan Yang di-Pertua, Orang berbudi, Kita berbahasa, Kerajaan memberi, Rakyat yang merasa. Saya ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada Menteri Kewangan di atas pembentangan Bajet 2021 yang begitu menyeluruh dan komprehensif serta mengambil kira keperluan segenap lapisan rakyat di mana sahaja mereka berada, meskipun kita sedang menghadapi pelbagai rintangan dan cabaran dalam menghadapi ancaman penularan COVID-19.

Saya juga mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri kerana telah memberikan peruntukan pembangunan untuk negeri Sarawak dalam belanjawan ini yang berjumlah RM4.5 bilion untuk tahun 2021. Meskipun kita memahami dan dalam keadaan menghadapi penularan COVID-19 lebih banyak perhatian yang diperlukan oleh kerajaan untuk memulihkan ekonomi negara yang begitu teruk terkesan.

Tuan Yang di-Pertua, saya menyambut baik keputusan kerajaan baru- baru ini untuk membenarkan pengeluaran simpanan ahli-ahli di KWSP mengikut kadar-kadar yang tertentu bergantung pada jumlah baki yang ada. Dengan adanya wang tambahan ini, saya berharap pemohon yang berjaya terutama sekali di kawasan Parlimen saya, menggunakan wang ini untuk dibelanjakan ke arah menambahkan rezeki keluarga di kala kita menghadapi kesukaran disebabkan wabak COVID-19.

final • 11:36 AM

Tuan Haji Yusuf bin Abd Wahab - Tanjong Manis

Saya juga memohon supaya kerajaan melanjutkan moratorium bank secara automatik sekurang-kurangnya sehingga bulan Mac 2021 memandangkan masih ramai lagi peminjam yang tidak mampu untuk menjelaskan hutang-hutang mereka. Ini sudah pastinya akan meringankan beban ketua keluarga yang betul-betul memerlukan tempoh untuk membayar balik pinjaman mereka.

Tuan Yang di-Pertua, seterusnya, izinkan saya untuk merungkaikan permasalahan penduduk di kawasan Parlimen saya dalam perbahasan ini.

Memang tidak dinafikan bahawa Kerajaan GPS Sarawak yang dipimpin oleh Yang Amat Berhormat Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Abang Haji Openg telah melakukan yang terbaik untuk memajukan negeri Sarawak. Namun, Kerajaan Pusat juga mempunyai tanggungjawab tersendiri untuk membangunkan negeri Sarawak seperti yang termaktub di dalam Perjanjian Malaysia 1963. Saya selalu sebutkan dalam ucapan bahas saya sebelum ini, penduduk di Parlimen Tanjong Manis tidak pernah meminta bulan dan bintang. Mereka sekadar menginginkan kehidupan mereka setaraf dan setanding dengan rakyat di kawasan lain di negara ini, agar mereka berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan orang lain.

final • 11:36 AM

Tuan Haji Yusuf bin Abd Wahab - Tanjong Manis

Jalan raya dan jambatan merupakan penghubung yang penting sekali dalam membangunkan sesebuah kawasan contohnya di kawasan Paloh, Kedang, Berangan, Bukit Kinyau, Parit Bugis, Semaring, Mupung dan Teluk Gelam, jalan penghubung sangat diperlukan untuk ke bandar-bandar berdekatan. Ketiadaan jalan raya di kawasan ini menyebabkan hasil mahsul rakyat dari kawasan luar bandar sukar untuk dipasarkan ke bandar-bandar seperti Bandar Baru Tanjong Manis ke Bintangor ke Sarikei dan juga ke Sibu.

Sebahagian rangkaian jalan dan jabatan sememangnya sudah ada tetapi masih banyak lagi yang diperlukan kerana keperluan kawasan yang luas dan taburan penduduk dan kampung-kampung atau rumah-rumah panjang yang berselerak di kawasan ini.

Tuan Yang di-Pertua, pandemik COVID-19 telah membuka mata kita betapa pentingnya komunikasi melalui telefon dan Internet untuk keselamatan, ekonomi, pendidikan dan keselesaan hidup. Capaian Internet di kawasan Parlimen saya seperti di Kampung Paloh, Kampung Kedang dan Kampung Berangan, seluruh Pulau Bruit terutama sekali di kawasan utara, kawasan Mupong, Semaring dan beberapa buah kawasan di Sarik sememangnya ada tetapi capaian ini sangat lemah dan sering terganggu di banyak tempat.

Saya memohon Kementerian Komunikasi dan Multimedia agar menyalurkan lebih banyak peruntukan yang disebut-sebut dalam Bajet 2021 demi membantu kerajaan negeri yang menyediakan rangkaian telekomunikasi dan Internet 4G yang lebih mampan serta meluas capaian rangkaiannya di kawasan Parlimen saya.

Selain masalah capaian Internet, kemampuan penduduk untuk membeli komputer untuk pembelajaran atas talian anak-anak mereka juga sangat terhad.

Saya difahamkan terdapat peruntukan khas melalui Skim Cerdik sebanyak RM150 juta untuk membeli komputer-komputer kepada warga sekolah. Saya berharap agar murid-murid sekolah di kawasan saya tidak tercicir daripada agihan penting ini.

Adalah difahamkan juga, kerajaan akan memperuntukkan RM500 juta pada tahun depan bagi melaksanakan inisiatif Jalinan Digital Negara

(JENDELA) bertujuan memastikan kesalinghubungan sejumlah 430 buah sekolah di seluruh negara. Saya berharap sekolah-sekolah di kawasan Parlimen saya tidak terlepas juga daripada agihan ini.

final • 11:40 AM

Tuan Haji Yusuf bin Abd Wahab - Tanjong Manis

Tuan Yang di-Pertua, isu sekolah daif yang disebut oleh wakil rakyat yang lain di Sarawak dan Sabah juga wujud di Parlimen Tanjong Manis.

Sekolah-sekolah daif boleh memberi kesan negatif kepada psikologi murid, guru, pentadbir sekolah mahupun ibu bapa. Terdapat sekolah-sekolah di kawasan Tanjong Manis yang memerlukan prasarana baharu dan penambahbaikan kepada prasarana yang sedia ada. Bangunan-bangunan sekolah yang telah usang dan prasarana lain yang dalam keadaan tidak baik boleh mendatangkan bahaya sekiranya terus digunakan.

Sebagai contoh di SMK Semop kekurangan bilik asrama telah mengehadkan bilangan pelajar yang menginap di asrama dan ramai yang terpaksa berulang alik untuk ke sekolah. Kekurangan bilik kelas juga dihadapi, makmal sains dijadikan bilik kelas, dewan perhimpunan pun tidak ada dan tidak kurang pentingnya bekalan elektrik juga masih menggunakan set jana kuasa ataupun genset padahal sekolah ini terletak hanya 200 meter sahaja daripada grid bekalan elektrik.

Banyak lagi sekolah lain yang saya hendak sebut tetapi senarainya begitu panjang. Jadi saya mohonlah kepada Kementerian Pendidikan untuk meletakkan permasalahan sekolah-sekolah di Parlimen Tanjong Manis sebagai satu keutamaan demi memastikan prestasi akademik murid-murid di kawasan pesisiran tidak terjejas dan setanding dengan sekolah-sekolah di luar bandar.

Tuan Yang di-Pertua, masa tidak banyak saya terpaksa percepatkan sedikit. Dalam Belanjawan 2021 sebanyak 500,000 peluang pekerjaan baharu akan diwujudkan termasuk untuk belia dengan jumlah peruntukan sebanyak RM3.7 bilion dalam skim PENJANA KERJAYA. Dalam suasana ekonomi yang tidak menentu dan banyak perusahaan ditutup dan ramai pekerja diberhentikan, saya sangat menyokong pembentukan skim PENJANA KERJAYA ini.

Latihan perindustrian reskilling dan upskilling adalah sangat diperlukan.

Peruntukan ini boleh memberi peluang kepada lebih ramai pekerja untuk mendapat ilmu baharu dan majikan membantu pekerja mereka melalui latihan profesional yang disediakan oleh agensi atau pusat latihan seperti CIDB atau universiti-universiti. Latihan kepakaran dan kemahiran baharu memberi peluang kepada para pekerja untuk menjadi lebih produktif.

Tuan Yang di-Pertua, jenayah dan penyalahgunaan najis dadah saling berkait rapat serta semakin berleluasa sejak kebelakangan ini. Kehadiran pihak penguat kuasa keselamatan seperti polis boleh menjadi pencegah kepada perlakuan jahat atau jenayah di dalam sesebuah komuniti. Saya memohon kepada Kementerian Dalam Negeri supaya dapat membina sebuah balai polis kecil di kawasan Pulau Bruit untuk tujuan pencegahan ini. Kerajaan Negeri Sarawak sedia berbincang untuk memperuntukkan sebidang tanah di kawasan RGC Semop untuk membina balai polis ini.

Di Kampung Belawai terdapat sebuah balai polis sedia ada yang serba kekurangan daripada segi keperluan bangunan baharu, kelengkapan pejabat dan kenderaan. Saya ingin memohon sekali lagi daripada pihak kementerian untuk melihat keperluan ini memandangkan balai polis ini mengawal dan menjaga jumlah penduduk yang begitu ramai di kawasan tersebut. Tuan Yang di-Pertua....

final • 11:40 AM

Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Mohd Rashid Hasnon

30 saat lagi ya.

final • 11:40 AM

Tuan Haji Yusuf bin Abd Wahab - Tanjong Manis

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pandemik selain menyedarkan kita tentang betapa pentingnya hubungan telefon dan Internet dalam masyakat kita pada masa ini, ia juga mendedahkan masalah pengurusan kewangan di kawasan luar bandar.

Jadi saya berharap di kawasan Parlimen saya, kemudahan seperti bank ataupun cawangan bank dan juga ATM disediakan kerana masalah penduduk

final • 11:40 AM

Tuan Haji Yusuf bin Abd Wahab - Tanjong Manis

untuk mengeluarkan wang mereka di kawasan seperti ini. Jadi saya berharap penduduk di pulau nanti tidak perlu pergi jauh untuk mengeluarkan wang mereka.

Tuan Yang di-Pertua, perkara terakhir. Pantai-pantai di kawasan Tanjong Manis terdedah kepada tindakan gelombang langsung ataupun direct wave action dengan izin daripada monsun timur laut yang melanda setiap tahun.

Lazimnya setiap kali monsun, banyak kawasan tanah pantai yang terhakis dan dimakan laut. Terdapat struktur-struktur serta ban-ban pertanian yang rosak dan pecah kerana ombak lalu menyebabkan kemasukan air masin ke kawasan pertanian orang kampung dan merosakkan tanaman mereka.

Baru-baru ini di kawasan pantai negeri Sarawak dan saya rasa banyak negeri lain mengalami fenomena paras air pasang di luar jangka. Banyak kampung ditenggelami air dan tidak kurang juga rum ah-rumah atau masjid yang rosak. Saya ingin menarik perhatian kementerian-kementerian seperti Kementerian Air dan Sumber Asli dan Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi untuk melihat perkara ini. Kalau perlu kita buat struktur untuk melindungi kawasan pantai supaya kawasan ini terlindung daripada ditenggelami ataupun hakisan atau serangan ombak seperti yang dibina di negara seperti Holland.

Jadi Tuan Yang di-Pertua, sebagai penutup saya ada dua rangkap pantun.

*Tanjong Manis berbicara suara rakyat, Agar mendapat jawapan sewajarnya, Mohon cakna Menteri-menteri yang hebat-hebat, Demi anak bangsa di kawasan saya.

Titah Yang di-Pertuan Agong tetap disanjung, Keselesaan dan kesenangan rakyat diingini, Bajet untuk rakyat saya memang menyokong, Tanjong Manis mohon mengundur diri.* Akhir sekali, saya mohon menyokong sepenuhnya Belanjawan 2021 yang telah dibentangkan oleh Yang Berhormat Menteri Kewangan dan menyokong kepimpinan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Sekian terima kasih.

final • 11:40 AM

Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Mohd Rashid Hasnon

Terima kasih Yang Berhormat Tanjong Manis. Sekarang saya menjemput Yang Berhormat Pasir Gudang, 10 minit.

final • 11:40 AM

Tuan Hassan bin Abdul Karim - Pasir Gudang

Bismillahir Rahmanir Rahim, Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

final • 11:48 AM

Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Mohd Rashid Hasnon

Waalaikumussalam.

final • 11:48 AM

Tuan Hassan bin Abdul Karim - Pasir Gudang

Terima kasih Tuan Yang di-Pertua kerana memberi izin saya dari Pasir Gudang untuk membahaskan Belanjawan 2021 ini. Dalam perbahasan saya ini, saya bahagikan kepada lima perkara.

Pertama, saya ingin menyatakan perkara-perkara yang baik dalam belanjawan ini. Kedua, saya ingin kemukakan perkara yang perlu dipinda dan yang ketiga, saya ingin menyatakan apa yang saya musykil, tidak puas hati dalam belanjawan ini. Keempat, jika sempat masa saya ingin menyatakan apa yang saya bantah dalam belanjawan ini dan yang kelima, apa yang saya syorkan.

final • 11:48 AM

Tuan Hassan bin Abdul Karim - Pasir Gudang

Lima perkara ini Tuan Yang di-Pertua, adalah berdasarkan daripada semakan saya terhadap buku yang tebal ini, Anggaran Perbelanjaan Persekutuan 2021. Maknanya saya ingin mengupas dengan penuh bertanggungjawab. Pertama, saya secara ikhlasnya menyatakan dalam belanjawan ini yang telah dibentangkan ada yang baik, yang perlu disokong.

final • 11:48 AM

Tuan Hassan bin Abdul Karim - Pasir Gudang

Mula-mula saya nyatakan bahawa jumlah belanjawan ini besar iaitu sebanyak RM323 bilion. Jumlah yang besar itu bukan satu isu baik dalam keadaan kita menghadapi pelbagai masalah sekarang, pandemik COVID-19 dan sebagainya. Yang menjadi isunya ialah bagaimana wang sebesar itu diagih- agihkan?

Bantuan kepada golongan B40, bagus. Bantuan kepada nelayan, petani, penternak, pekerja, Program Subsidi Upah bagus, saya sokong.

Program PRIHATIN, PENJANA dan sebagainya. Benda yang baik ini, kita sokong. Ia ada dalam belanjawan ini. Akan tetapi, sekarang ialah apa yang– saya sampai kepada perkara yang kedua. Apakah yang perlu dipinda?

Tuan Yang di-Pertua, selepas mengkaji dokumen Anggaran Belanjawan ini, saya dapati bahawa peruntukan Tabung COVID-19 hanya sekadar RM17 bilion sahaja. Bagi saya, jumlah ini kecil, tak cukup. Daripada sejumlah RM323 bilion, sebanyak RM17 bilion sahaja untuk wang COVID-19. Ia merupakan lebih kurang lima peratus sahaja. Jadi, saya ada cadangan. Yang Berhormat Timbalan Menteri Kewangan ada di sini.

Kita bukan hendak cari wang yang lain kerana ia ada dalam peruntukan ini iaitu Perbelanjaan Pembangunan sebanyak RM71 bilion. Daripada RM71 bilion, sebanyak RM2 bilion adalah untuk perbelanjaan luar jangka

(contingency). Manakala, sebanyak RM69 bilion itu ialah perbelanjaan pembangunan. Tahun lepas, lebih kurang sejumlah RM50 bilion hingga RM51 bilion.

Saya cadangkan, kalau kita hendak lawan COVID-19 ini, wang sebanyak RM17 bilion ini perlu ditambah. Bagaimanakah hendak tambah? Saya cadangkan bahawa, peruntukan pembangunan itu kita kekalkan sebanyak RM50 bilion. Sebanyak RM69 bilion tolak sebanyak RM50 bilion, kita ada sebanyak RM19 bilion. Sebanyak RM19 bilion ini Tuan Yang di-Pertua, kita tambah kepada RM17 bilion tadi sudah jadi sebanyak RM36 bilion. Jikalau kita ada wang COVID-19 sebanyak RM36 bilion, sebanyak RM3 bilion kita boleh bagi untuk vaksin, sebanyak RM3 bilion untuk mass test ujian rakyat seberapa ramai untuk swab test ini.

Kemudian, sebanyak RM10 bilion lagi kita upgrade tentang operasi kesihatan. Ada lebihan sebanyak RM20 bilion lagi daripada wang COVID-19 ini, kita boleh gunakan untuk teruskan Program Subsidi Upah. Kita bagi cash kepada rakyat yang perlu dan kita bagi kepada pekerja-pekerja yang terjejas supaya mereka tidak perlu keluarkan wang EPF mereka.

[Tepuk] Tak payah.

Jikalau kita dapat adjust, kenapa tidak perlu sangat– belanjawan pembangunan sampai RM71 bilion adalah kerana pertama, dalam keadaan sekarang, memadai dengan– seperti tahun lepas, kerana pekerja sektor construction pun sekarang pekerjanya pun tidak ada dan pembangunan itu mengambil masa selama setahun, dua tahun dan sebaginya. Jadi, wang itu kita tumpukan kepada wang COVID-19. Itu perkara yang kedua yang perlu dipinda.

Perkara yang ketiga, perkara yang saya musykilkan. Saya semak dengan buku yang tebal ini Buku Anggaran Belanjawan ini, pada muka surat 107. Perbelanjaan di bawah Jabatan Perdana Menteri. Yang Berhormat Timbalan Menteri lihat, pada muka surat 107 itu ada Butiran Projek Khas di bawah Jabatan Perdana Menteri sebanyak RM1 bilion. Biar betul ini? Projek

final • 11:50 AM

Tuan Hassan bin Abdul Karim - Pasir Gudang

Khas itu apa? Saya cari nota kaki (footnote) pun tidak ada. Mana boleh. Wang sebanyak RM1 bilion ini lebih besar daripada belanjawan sesetengah negeri dalam Semenanjung kita.

Jadi, saya minta kepada Yang Berhormat Menteri Kewangan semak semula. Bukan kita terus hendak tuduh apa-apa. Dalam penggulungan nanti bahagian Jabatan Perdana Menteri kena terang sebanyak RM1 bilion untuk Butiran Projek Khas ini projek apa? Jikalau tidak dapat jawapan yang jelas, kita kena tolak bajet ini.

Kedua, Yang Berhormat Timbalan Menteri lihat pada muka surat 155, saya jumpa lagi. Satu peruntukan di bawah Kementerian Kewangan sendiri, Butiran Pelbagai Suntikan Modal sebanyak RM13.61 bilion. Hanya dalam satu garis sahaja. Satu baris, Pelbagai Suntikan Modal sebanyak RM13.6 bilion. Ini modal apa ini? Suntik apa ini? Jadi kena jawab, jikalau tidak, tidak boleh lulus bajet ini. Walaupun ada yang baik bajet ini– bukan RM13, tetapi RM13.61 bilion.

Itu yang saya musykilkan. Saya tidak tuduh apa, saya bersangka baik. Minta jelaskan.

Keempat, yang saya bantah. Ini bantah. Kalau yang saya bantah ini tidak diubah, saya bagi tahu dengan ikhlas saya akan tolak belanjawan ini.

Pertama, adalah JASA. Sampai RM85.5 juta di bawah kementerian. Apa nama kementerian ini, Kementerian Komunikasi dan Multimedia. Lebih baik RM85.5 juta itu kita bagi kepada Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) supaya dia jadi RTM yang terbaik di dunia. Kita bagi duit itu ke Jabatan Penerangan di daerah- daerah. Itu saya bantah. Lagi satu lagi ini ada PENJANA. Apa ini Penggerak Komuniti Tempatan, RM8.63 juta. Kenapakah NGO ini sahaja dapat? Banyak NGO seluruh negara ini pun.

[Ketawa] [Tepuk] Yang Berhormat Timbalan Menteri ini ada conflict of interest. Ada conflict of interest.

final • 11:50 AM

Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Mohd Rashid Hasnon

Teruskan.

[Tuan Yang di-Pertua **mempengerusikan Mesyuarat****]

final • 11:50 AM

Tuan Hassan bin Abdul Karim - Pasir Gudang

Kelima, apa yang saya syorkan. Yang saya syorkan dan saya minta. Ramai sudah sebut, saya ulang semula iaitu moratorium. Bayar bank ini dilanjutkan penangguhan selama enam bulan lagi. Ini kerana apa? Ini kerana, kumpulan M40, dia tak dapat yang PENJANA dan yang PRIHATIN itu. Akan tetapi, kalau moratorium ini dilaksanakan lagi, sedikit sebanyak membantu mereka. Jumlah rakyat yang akan dapat faedah jika Yang Berhormat Menteri Kewangan dapat panjangkan moratorium ini, seramai 8 juta orang rakyat kita. Dapat selamatkan pekerjaan dan juga perniagaan.

Akhir sekali, Tuan Yang di-Pertua sebagai kesimpulan, saya menganggap Belanjawan 2021 ini adalah undi percaya kepada kerajaan hari ini.

[Tepuk] sekiranya pada 26 November minggu depan belanjawan ini ditolak oleh Dewan ini, anggaplah itu sebagai Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dan kerajaan hilang kepercayaan daripada Ahli-ahli Parlimen.

[Tepuk] Jadi saya berharap, kepada Yang Berhormat Menteri Kewangan, jika sayangkan Kerajaan Perikatan Nasional ini, daripada ditolak, buatlah pindaan, dengar apa yang kami cakap, apa yang kami tuntut dan apa suara rakyat. Jika tidak, akan jatuh kerajaan ini pada 26 November minggu depan. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.

final • 11:50 AM

Tuan Yang di-Pertua

Terima kasih Yang Berhormat Pasir Gudang.

Saya mempersilakan Yang Berhormat Lubok Antu seterusnya.

final • 11:50 AM

Tuan Jugah a/k Muyang @ Tambat - Lubok Antu

Terima kasih Tuan Yang di-Pertua kerana memberi peluang kepada saya untuk mengambil bahagian dalam perbahasan Belanjawan 2021. Mengawali perbahasan ini dan menelusuri Belanjawan 2021, yang mana Sarawak diperuntukkan sebanyak RM4.5 bilion bersamaan 7.86 peratus. Sabah RM5.2 bilion, bersamaan 9.28 peratus.

Walaupun Sabah dan Sarawak mempunyai status keistimewaan dalam Persekutuan, semangat Perjanjian Malaysia (MA63), ia dilihat gagal dihormati secara menyeluruh, lantas mewujudkan ketidakseimbangan dalam manfaat ekonomi dan pembangunan.

final • 11:59 AM

Tuan Jugah a/k Muyang @ Tambat - Lubok Antu

Tuan Yang di-Pertua, pembentukan Malaysia pada 16 September 1963 berasaskan prinsip Perlembagaan bagi menjamin pengagihan kuasa dan ekonomi yang saksama, adil serta membebaskan rakyat daripada penjajahan minda dan jiwa demi mengangkatkan martabat rakyat Malaysia.

Tuan Yang di-Pertua, pengukuhan pemusatan kuasa oleh Kerajaan Pusat sejak MA63 ditandatangani merupakan antara faktor yang menyebabkan Sabah dan Sarawak terus ketinggalan, khasnya dari segi aspek ekonomi walaupun menjadi antara penyumbang terbesar kepada pendapatan negara.

Berdasarkan Laporan Sosioekonomi Negeri 2018, Sarawak menyumbang 9.6 peratus daripada keseluruhan keluaran dalam negeri kasar (KDNK) negara dan Sabah menyumbang sebanyak 6.2 peratus. Bagi pungutan hasil pula, Sarawak dan Sabah berada di kedudukan pertama dan kedua jika dibandingkan dengan negeri-negeri lain.

Tuan Yang di-Pertua, pada tahun 2017, Sarawak mencatatkan kutipan hasil sebanyak RM6.9 bilion. Ekonomi merupakan bidang tertinggi dan sentiasa menimbulkan pertikaian berhubung MA63. Sehubungan dengan itu, kerajaan perlu bertindak secara lebih adil dan menghormati Perlembagaan dengan memperuntukkan agihan lebih seimbang agar ia bersesuaian dengan sumbangan hasil setiap negeri berkenaan. Ini sangat penting kerana agihan yang lebih baik dapat memastikan pembangunan dapat dilaksanakan dengan lebih meluas serta memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa diutamakan.

Saya ingin buat pertanyaan, adakah tujuan asal kemajuan dicapai oleh Sabah dan Sarawak setaraf dengan dinikmati di Semenanjung selepas 57 tahun Malaysia ditubuhkan? Persoalannya, masih adakah kewujudan besar dari segi pembangunan prasarana, ekonomi, pendidikan dan sebagainya?

Tuan Yang di-Pertua, pemusatan kuasa yang terlalu rigid menyukarkan federalisme untuk diamalkan secara adil. Pihak kerajaan wajar mempertimbangkan desentralisasi kuasa dalam beberapa aspek yang bersesuaian termasuk hal berkaitan kewangan, percukaian dan sumber asli bagi melihat keseimbangan dan kemajuan kepada Sabah dan Sarawak dapat dicapai dengan lebih pantas. Desentralisasi kuasa ini mampu memastikan sistem federalisme terlaksana dengan lebih berkualiti melalui hubungan pusat-negeri yang lebih dinamik dan bebas.

Tuan Yang di-Pertua, Belanjawan ini merupakan peringkat kelima strategi 6R memperkasakan tiga matlamat induk iaitu kesejahteraan rakyat, kelangsungan perniagaan dan ketahanan ekonomi. Saya sangat berterima kasih dan menjunjung tinggi keprihatinan kerajaan kerana memperuntukkan RM25 juta bagi program dialisis di rumah bagi meningkatkan kualiti rawatan pesakit buah pinggang serta mengurangkan masa menunggu kesesakan di hospital.

final • 12:00 PM

Tuan Jugah a/k Muyang @ Tambat - Lubok Antu

Oleh itu, saya mohon supaya ditempatkan sebuah pusat rawatan dialisis di kawasan Daerah Lubuk Antu. Ini memandangkan pusat yang ada sekarang di Sri Aman dan Betong agak jauh daripada kawasan Parlimen Lubuk Antu.

‘Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul’. Kalau di bandar, kereta bermacam-macam jenama tetapi di kawasan hulu, hanya ada bot panjang dan dayung sebagai teman setia. Bayangkan pesakit dari kawasan hulu sungai untuk mendapatkan rawatan harus menempuh perjalanan sehari suntuk. Ini laksana ‘sudah jatuh ditimpa tangga’. Ingin saya bertanya, apakah status klinik di kawasan Lubok Antu ketika ini?

Kita beralih kepada memelihara kebajikan golongan rentan. Tuan Yang di-Pertua, saya sangat menyambut baik keprihatinan kerajaan kerana sentiasa merasai denyut nadi dan keluh resah rakyat ini iaitu kadar bantuan OKU, warga emas, bantuan perniagaan OKU, pesakit kronik, elaun pekerja, bantuan kanak- kanak dan keluarga miskin dinaikkan. Walau bagaimanapun, saya mohon dan mencadangkan pemurnian dan penambahbaikan cara yang sedia ada supaya satu mekanisme yang tuntas dan berkesan dilakukan pihak kerajaan supaya tidak berlaku keciciran terhadap rakyat yang layak.

Ketiga, menjamin mengekalkan pekerjaan. Tuan Yang di-Pertua, kadar purata pengangguran sejak 10 tahun yang lalu merekodkan 3.2 peratus atau sekitar 500,000 penganggur. Berikutan pandemik COVID-19, ia telah meningkat kepada 5.3 peratus pada Mei 2020. Saya amat menyambut baik pembukaan semula ekonomi dan pelaksanaan inisiatif PRIHATIN dan PENJANA kerana pengangguran turun pada 4.7 peratus pada Ogos 2020.

Langkah ini harus diteruskan iaitu, satu, inisiatif Penjana Kerjaya, reskilling dan upskilling, MySTeP, subsidi upah tersasar dan perlindungan sosial.

Mengutamakan agenda keterangkuman. Tuan Yang di-Pertua, agenda keterangkuman menjadi keutamaan ke arah pembangunan yang holistik, bekalan air, bekalan elektrik, baik pulih rumah. Walau bagaimanapun, saya mohon supaya Projek Jalan Luar Bandar di kawasan Lubok Antu yang meliputi kawasan Ulu Engkari, Ulu Lemanak dan Ulu Sekerang diambil perhatian dengan penuh dan disegerakan serta masalah isu air terawat pula diselesaikan.

Masalah capaian internet di hulu sungai. Sistem pengajaran dan pembelajaran diuruskan cara home based learning pada masa PKP ini adalah begitu sukar sehingga pelajar meredah hutan mencari capaian internet. Perkara ini berlaku di Hulu Sumpah di Lubok Antu baru-baru ini. Pendidikan ialah pelaburan yang penting dan memastikan suasana pembelajaran kondusif.

Kerja-kerja penyelenggaraan dan pembaikan sekolah daif di Sarawak dan Lubok Antu khasnya disegerakan baik pulihnya. Saya mohon, apakah statusnya baik pulih khasnya di kawasan Lubok Antu?

Strategi kelima, menjamin kesejahteraan hidup rakyat, tumpuan mengikut komuniti. Tuan Yang di-Pertua, Program Pembangunan Komuniti yang merangkumi semua peringkat masyarakat menjadi tumpuan kerajaan.

Bagi kaum Cina, sebanyak RM177 juta disediakan. Bagi kaum India, sebanyak RM100 juta bagi memperkasakan sosioekonomi kaum India. Orang Asli diperuntukkan RM158 juta disediakan. Persoalannya, di manakah peruntukan untuk kaum Dayak, khususnya kaum Iban yang jauh ketinggalan dari segi sosioekonominya? Saya mohon kerajaan untuk mempertimbangkan peruntukan untuk kaum-kaum Dayak di Sarawak.

Untuk mengakhiri ucapan, saya merangkumi semua ulasan, dengan ini saya menyokong Belanjawan 2021. Terima kasih.

final • 12:00 PM

Tuan Yang di-Pertua

Terima kasih Yang Berhormat. Seterusnya, mempersilakan Yang Berhormat Raub. Dipersilakan.

final • 12:00 PM

Tengku Zulpuri Shah bin Raja Puji - Raub

Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Bismillahi Rahmani Rahim. Assalamualaikum warahmatullaahi wabarakaatuh, salam sejahtera kepada semua Ahli Dewan Mesyuarat.

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan menjunjung kasih kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong serta Majlis Raja-raja di atas penolakan darurat baru-baru ini. Sekiranya darurat berlaku, nescaya saya tidak dapat mengambil bahagian pada belanjawan petang ini.

Juga ingin mengucapkan salam takziah kepada keluarga Allahyarham Dato’ Hasbullah bin Osman, Ahli Parlimen Gerik.

Tuan Yang di-Pertua, dalam masa 10 minit ini, saya cuba ringkaskan poin-poin penting supaya ianya mudah difahami dan harap dapat diambil perhatian serius apa yang akan saya sampaikan nanti. Dalam semakan saya daripada ucapan Belanjawan 2021 yang lepas serta ucapan daripada rakan- rakan Ahli Parlimen, banyak menyentuh dasar-dasar jangka masa pendek dan penyelesaian segera bagi menghadapi krisis COVID-19.

final • 12:08 PM

Tengku Zulpuri Shah bin Raja Puji - Raub

Di sini saya ingin menyentuh dasar infrastruktur negara dalam jangka masa sederhana bagi menghadapi krisis pandemik COVID-19 ini. Ketua Pengarah WHO Pertubuhan Kesihatan Sedunia Dr. Tedros Adhanom Ghebreyesus mengambil contoh Spanish Flu yang menular tahun 1918 hanya berjaya dikawal dalam masa tempoh dua tahun. WHO juga menyatakan Corona Virus akan menjadi endemik seperti HIV yang tidak akan hilang. Pengarah Kecemasan WHO Mike Ryan berkata adalah sukar untuk meramalkan bila pandemik ini akan berakhir. Sehingga kini, tiada negara-negara yang mengaku telah menemui vaksin pandemik ini. Akan tetapi pandemik COVID-19 ini telah berlaku lebih 11 bulan di negara kita.

Tuan Yang di-Pertua, dalam masa yang singkat ini saya ingin menyentuh lima perkara iaitu:-

(i) strategi masa hadapan pendidikan;

(ii) strategi kerjasama peluang dengan pertubuhan alternatif serta kerjasama dengan pusat-pusat kajian antarabangsa;

(iii) strategi keselamatan negara;

(iv) strategi persediaan ketahanan rakyat dari segi fizikal dan mental;

(v) strategi menambahkan pendapatan negara.

Pertama, strategi pendidikan. Jika kita lihat peruntukkan pendidikan sekitar RM50.4 bilion atau 15.6 peratus daripada perbelanjaan keseluruhan.

Kalau saya sebut di sini ia merangkumi banyak. Akan tetapi persoalan saya, peruntukkan yang besar ini akan hanya – Kita melihat dari segi figure atau nombor sahaja, ia tidak akan menjadi kenyataan. Tiada kepastian bila COVID- 19 akan berakhir. Tidak pasti bila PKP akan berakhir. Murid-murid bersekolah kurang lebih dua bulan pada tahun 2020. Bila tarikh pelajar baharu, pengajian tinggi atau penuntut kemahiran akan mula berkuliah?

Sepatutnya Kerajaan PN mestilah memikirkan kaedah baharu cara pembelajaran. Cara talian gelombang jarak jauh ataupun video conference dengan izin. Infrastruktur ini harus dibina atau disediakan dahulu. Begitu juga dengan kekuatan atau kemampuan jalur lebar dalam sesuatu kawasan luar bandar, kawasan pedalaman. Kena ambil kira faktor gangguan lain seperti bencana alam, sabotaj dan sebagainya. Setuju dengan cadangan Yang

final • 12:10 PM

Tengku Zulpuri Shah bin Raja Puji - Raub

Berhormat Puchong semalam. Kita kena fikirkan bersama era satelit untuk penyediaan yang akan datang untuk menghadapi COVID-19 ini.

Kedua, strategi kerjasama dengan perubatan alternatif. Kalau di negara China, perubatan tradisional China bekerjasama membantu hospital kerajaan.

Di Malaysia kita ada beberapa persatuan perubatan alternatif yang mana KKM boleh berkolaborasi dan mereka dapat dana persatuan ini seperti akupunktur, homeopati, ayurveda, perubatan tradisional Cina dan perubatan tradisional Islam dan sebagainya. Bagi mereka tanggungjawab bersama menghadapi COVID-19 ini. KKM juga hendaklah berkolaborasi juga dengan pusat-pusat penyelidikan di luar negara bagi mendapatkan data-data baharu dan input-input yang terkini.

Mengapa saya menekankan perkara ini kerana kita ada agensi yang layak dan ada kemudahan untuk KKM bekerjasama dengan agensi biokeselamatan. Dahulunya di bawah KATS, sekarang di bawah Kementerian Alam Sekitar dan Air. Biokeselamatan bukan sahaja boleh membuat kajian berkenaan pengubahsuaian DNA tumbuh-tumbuhan malah ia juga boleh membuat kajian terhadap haiwan-haiwan yang membawa COVID-19. Kepada Tan Sri Dr. Noor Hisham, Ketua Pengarah Kesihatan, sesungguhnya kami menghargai jasa anda. Anda seorang yang berani dan bertanggungjawab.

Ketiga, strategi keselamatan negara. Pengasas Microsoft, Bill Gates pernah memberi amaran mengenai bertapa mudahnya virus dicipta secara genetik sehingga mampu membunuh lebih ramai manusia berbanding dengan senjata nuklear. Namun begitu, kata beliau seperti dipetik dalam Washington Post pada tahun 2017, tiada satu pun negara di dunia bersedia menghadapinya.

Penularan COVID-19 juga tidak terlepas daripada dikaitkan dengan perang biologi dan teori konspirasi. Satu kilometer per segi senjata biologi hanya kos lebih kurang USD1 sahaja. Jika dibandingkan dengan senjata konvensional memerlukan kos USD2,000. Manakala senjata nuklear kos USD800 dan senjata kimia kos USD600 dengan kawasan yang sama.

Senjata biologi ini sukar dikesan, sukar di x-ray dan sukar dikesan oleh anjing-anjing dan juga senang dibawa ke mana-mana. Dahulu mereka menjajah menakluki sesebuah negara dengan menggunakan senjata berat, canggih dalam peperangan. Tidak mustahil pandemik atau biologi ini akan digunakan pada masa hadapan. Mereka tidak lagi perlu menjual senjata-senjata yang canggih. Cukup sekadar menjual vaksin kepada negara-negara yang lemah.

Pihak ATM mestilah membuat kajian ilmiah bagi menerokai senjata-senjata berbentuk biologi ini. Kerajaan perlu memasukkan kos-kos pengajian ini dalam belanjawan 2021 sebagai persediaan ATM untuk bersama membuat persediaan awal bagi menghadapi sebarang segala kemungkinan.

Strategi keempat, strategi persediaan ketahanan rakyat berbentuk fizikal dan mental. Di sini, hanya ingin menyentuh berkenaan dengan mental ketahanan rakyat serta kerjasama bersama-sama pihak swasta dan badan- badan bukan kerajaan (NGO) bagi mengurangkan beban kerajaan serta mengagihkan peruntukkan ini kepada pihak swasta. Semasa krisis pandemik COVID-19 ini, keadaan tersebut kian parah. Talian Sokongan Psikososial KKM menerima lebih daripada 35,000 panggilan. Manakala peningkatan juga bagi NGO sebagai contoh PENGASIH menerima panggilan untuk bantuan sokongan psikososial sebanyak tiga kali ganda atau 17,000 panggilan. Cadangan saya adalah supaya pihak kerajaan membahagikan sebahagian daripada perkhidmatan rawatan pemulihan dadah serta pencegahan kepada NGO ini oleh sebab pendekatan dijalankan NGO terbukti lebih berkesan dan menjimatkan.

Strategi yang kelima, iaitu menambah pendapatan negara. Walaupun Kerajaan PN berusaha untuk mematahkan penyeludupan rokok, ia sekitar lima peratus daripada 300 bilion yang dapat dikurangkan pada ekonomi gelap. Untuk

final • 12:10 PM

Tengku Zulpuri Shah bin Raja Puji - Raub

memastikan ekonomi gelap ini dapat dikurangkan serta untuk menambah pendapatan negara, kepakaran dalam menghadapi jenayah kolar putih dalam PDRM, SPRM perlulah ditingkatkan dan tahap integriti, rasuah serta salah guna kuasa mestilah dinilai dari semasa ke semasa. Terima kasih kepada PDRM bawah Tan Sri Abdul Hamid Bador yang dapat membongkar serta mematahkan sindiket Macau Scam dan penyeludupan dadah yang bernilai jutaan ringgit.

Akhir sekali, sedikit permintaan daripada Parlimen Raub. Diharap Kerajaan Pusat melalui Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya, Kementerian Alam Sekitar dan Air dan kementerian yang terbabit dapat mempertahankan keaslian hutan serta ekosistem yang tinggal hanya satu di negeri Pahang iaitu Bukit Tinggi atau Fraser Hill di mana Cameron Highland dan Genting Highland telah dibangunkan dengan tujuan komersial.

Dengan cadangan pembinaan hotel 15 tingkat oleh pihak swasta ini, ia dikhuatiri akan merosakkan ekosistem tempat penghijrahan beribu-ribu jenis burung, fauna dan flora serta jalan yang sedia ada dengan pengangkutan jentera berat akan merosakkan bangunan atau pun jalan yang sedia ada.

Diharap juga projek RM18 juta pembinaan loji air baharu, harap dapat disegerakan di Parlimen Raub. Lebuh Raya Central Spine Road juga supaya dapat disiapkan dengan segera supaya ia dapat mengurangkan kesesakan semasa cuti umum dan juga hari perayaan.

Akhir sekali, diharap pengusaha kebun buah durian Musang King dapat diselesaikan dengan semangat menang-menang rakyat diutamakan. Seperti saranan saya dalam ucapan yang lepas di mana pihak kerajaan negeri dapat duduk bersama bagi memajukan Parlimen Raub dengan Kerajaan Pusat seperti ekopertanian, lestari dan ekopertanian untuk mewujudkan peluang-peluang pekerjaan setempat di Parlimen Raub. Sekian terima kasih.

final • 12:10 PM

Tuan Yang di-Pertua

Terima kasih Yang Berhormat Raub. Saya menjemput Rompin seterusnya. Silakan.

final • 12:20 PM

Dato’ Sri Hassan bin Ariffin - Rompin

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Tuan Yang di-Pertua, saya dan juga rakan-rakan yang lain untuk bersama-sama membahaskan Bajet yang telah dipersembahkan oleh Yang Berhormat Menteri Kewangan dalam keadaan yang amat sukar. Saya memahami kekangan serta permasalahan untuk mempersembahkan suatu bajet yang begitu baik yang mana tiga keadaan yang menyelubungi negara kita pada ketika ini iaitu ketidakstabilan politik, masalah COVID-19 dan yang ketiganya keadaan ekonomi yang begitu merudum kepada kadar pertumbuhan yang negatif.

Dalam mengimbangkan untuk memberi bantuan kepada rakyat dan memulihkan semula pertumbuhan ekonomi negara, ia memerlukan satu bajet defisit yang lebih besar. Sebagai seorang yang konservatif, saya tidak ada halangan untuk kerajaan memperbesarkan lagi defisit, walaupun ada kekangan- kekangan perundangan yang tertentu. Akan tetapi dalam keadaan luar biasa, negara dilanda keadaan yang luar biasa, maka, peraturan serta norma-norma lama harus ditinggalkan dan dipersembahkan satu bajet yang saya rasa boleh untuk keadaan-keadaan tertentu. Defisitnya lebih besar, apa salahnya sampai kepada enam peratus, tujuh peratus atau lapan peratus kerana kerajaan bertanggungjawab hari ini memulihkan ekonomi dan menentukan rakyat dalam keadaan terbela. Kalau terpaksa meminjam, kerajaan harus meminjam dan bila keadaan ekonomi pulih, kita boleh menyelesaikan masalah ini.

final • 12:20 PM

Dato’ Sri Hassan bin Ariffin - Rompin

Kita tidak harus terikut-ikut tentang komen daripada rating agency luar negara kerana kitalah yang bertanggungjawab untuk mengurus, mentadbir dan menentukan bahawa rakyat akan sentiasa dijaga dan pertumbuhan ekonomi akan terus berlaku dalam negara kita ini. Satu perkara yang sangat penting yang harus diperhatikan oleh kerajaan, adalah akan muncul kemiskinan baru dalam negara. Ini sudah pasti akan berlaku. Bila keadaan politik tidak stabil, keadaan COVID-19 dan keadaan pertumbuhan ekonomi, maka kemiskinan baharu akan berlaku. Apakah perancangan kerajaan untuk mengekang supaya kemiskinan ini dapat bertahan pada kadar yang lama?

EPU harus membuat penilaian secara teliti iaitu rating ataupun kedudukan ekonomi dalam negara kita ini dikategorikan kepada B40, M40 dan T20, sudah tidak sesuai lagi. Ini kerana B40 mungkin telah membengkak menjadi B50 dan M40 akan berkurang menjadi M30. Ini yang harus dilihat secara serius supaya dalam merangka Rancangan Malaysia Kedua belas, fakta ini harus dilihat secara bersungguh-sungguh. Jangan kita tidak mengaku kelemahan kita dan kesilapan kita dalam merangka data-data dalam mengolah semula rangka data-data kita untuk menentukan bila kita merancang dan melaksanakan Rancangan Malaysia Ke-12, angka kemiskinan ini terus menjadi asas kepada kita untuk merancang Rancangan Malaysia Kedua belas.

Kalau kita lihat dalam Laporan Kemiskinan Tegar pada tahun 2019 direkodkan sebagai 0.4 peratus. Saya percaya kadar ini tidak begitu sesuai lagi.

Mungkin telah membesar sampai satu sehingga dua peratus kemiskinan tegar yang melanda negara kita. Begitu juga dengan kemiskinan, walaupun kerajaan telah menilai semula kadar kemiskinan daripada RM980 pada tahun 2005, kepada RM2,208. Garis kemiskinan ini telah dinilai semula tetapi kemiskinan bandar dan kemiskinan desa, jauh bezanya. Jadi kadar kemiskinan ini sudah lagi tidak begitu sesuai dengan keadaan sekarang ini. Angka-angka ini juga harus dilihat semula oleh kerajaan.

Satu lagi perkara yang saya hendak bangkitkan adalah masalah gerakan koperasi dalam negara kita ini. Saya tidak nampak banyak peruntukan yang diluluskan kepada koperasi sedangkan gerakan koperasi dalam negara kita mempunyai sebanyak enam juta keahlian dan peruntukan tidaklah begitu banyak. Terdapat 14,000 buah koperasi dalam negara kita ini dan satu perkara yang harus diperhatikan oleh kerajaan, sebanyak 3,200 koperasi tidak aktif.

Suruhanjaya Koperasi harus membuat kajian. Apakah sebab-sebab koperasi ini tidak lagi berfungsi? Saya mencadangkan supaya tiga agensi utama yang menggerakkan, menguruskan ataupun yang mengawal gerakan koperasi dalam negara kita ini iaitu Suruhanjaya Koperasi, Institut Koperasi Malaysia

(IKM) dan juga ANGKASA harus bekerjasama bagi menentukan bahawa gerakan koperasi dalam negara kita ini terus berkembang dan memainkan peranan meningkatkan lagi sumbangan kepada KDNK dalam negara kita.

Negara-negara yang maju seperti Korea Selatan, Jepun dan Denmark, kita melihat gerakan koperasi mereka begitu berkembang sekali. Seharusnyalah apa-apa juga yang menyekat kepada birokratik ataupun sebahagiannya yang boleh menyekat pertumbuhan koperasi harus dilihat semula. Umpamanya pindaan Akta 502 yang menghapuskan pelbagai sekatan dan birokrasi dalam gerakan koperasi harus dilihat semula.

final • 12:20 PM

Dato’ Sri Hassan bin Ariffin - Rompin

Suruhanjaya Koperasi Malaysia dan Institut Koperasi Malaysia harus disatukan semula supaya dia dapat memainkan peranan yang lebih besar dan membina wajah baharu kepada kegiatan koperasi di dalam negara kita.

Akhirnya, saya ingin membangkitkan masalah dalam kawasan saya iaitu di Pulau Tioman sebagai satu destinasi pelancongan yang terkenal dalam negara dan luar negara. Satu peruntukan yang telah diluluskan oleh ICU sejumlah RM11 juta untuk memperbaiki dan membina jeti-jeti baharu di Pulau

final • 12:30 PM

Dato’ Sri Hassan bin Ariffin - Rompin

Tioman. Bila Kerajaan Pakatan Harapan berkuasa telah membatalkan semua projek ini sedangkan jeti adalah suatu perkara yang sangat penting dalam perhubungan penduduk di Pulau Tioman dan juga yang penting dari segi menyambut kedatangan pelancong-pelancong dari luar negara.

Jadi Tuan Yang di-Pertua, saya menyokong bajet yang dibentangkan oleh Yang Berhormat Menteri Kewangan dalam keadaan yang cukup sukar dan mendengar segala rintihan, pandangan-pandangan yang diberikan oleh Ahli-ahli Yang Berhormat supaya akhirnya dalam hujah penggulungan Yang Berhormat Menteri Kewangan dapat memberi keyakinan baharu kepada rakyat bahawa bajet ini dapat menyelesaikan banyak masalah-masalah yang dihadapi oleh rakyat ketika ini. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.

final • 12:30 PM

Tuan Yang di-Pertua

Terima kasih Yang Berhormat Rompin. Saya mempersilakan Yang Berhormat Bayan Baru.

final • 12:30 PM

Tuan Sim Tze Tzin - Bayan Baru

Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.

Malaysia sekarang sedang menghadapi tiga krisis. Krisis pandemik, krisis ekonomi, dan krisis politik. Rakyat sedang memerhati bagaimana kerajaan menggunakan Belanjawan 2021 untuk menyelamatkan negara dan rakyatnya.

Rakyat juga menaruh harapan yang tinggi kepada Yang Berhormat Menteri Kewangan yang merupakan seorang pemimpin korporat yang non partisan. Selepas meneliti belanjawan, saya secara jujur mendapati belanjawan ini tidak mempunyai idea yang baharu yang memberangsangkan. Orang Bayan Baru kata kepada saya bajet ini same old, same old. Mereka kecewa.

Saya teliti bajet Kementerian Pertanian dan Industri Makanan.

Sebenarnya sektor pertanian dan industri makanan merupakan sektor yang paling berpotensi untuk dikembangkan. Rakyat Malaysia telah sedar tentang kepentingan food security semasa global lockdown. Akan tetapi peruntukan pengurusan MAFI bukan sahaja tidak ditambah malah diturunkan, dipotong.

Elaun sara hidup nelayan dinaikkan sebanyak RM50 tetapi peruntukan LKIM dipotong sebanyak RM37 juta. Pi mai pi mai tang tu orang Pulau Pinang kata ya. Subsidi harga padi dipotong sebanyak RM50 juta tetapi mampu kah kerajaan membayar subsidi harga padi kepada semua petani? Bajet Pengurusan Kementerian MAFI dipotong sebanyak RM92 juta atau sebanyak 40 peratus.

Bukan sahaja itu, semua agensi yang membantu petani seperti MADA, KADA, MARDI, FAMA, LPNM, Bioeconomy, LPP, IDA, Institut Kemahiran Pertanian semua dipotong peruntukan. Adakah yang dipotong ini sampai 33 peratus petani, nelayan dan penternak yang miskin bakal terjejas kerana MAFI tidak berupaya berfungsi secara optimum membantu mereka menyelesaikan masalah mereka.

Malaysia mengimport lebih kurang sebanyak RM50 bilion makanan daripada luar negara setiap tahun. Malaysia mempunyai potensi untuk memajukan sektor pertanian mengikut comparative advantage negara kita untuk mengimbangi defisit pengimportan. Akan tetapi pengusaha sektor pertanian menghadapi masalah access to credit untuk memodenkan pertanian mereka.

Dahulu ada Tabung Fund for Food (3F). Masa PH, kami memperkenalkan tabung baharu iaitu Tabung Pinjaman Agrofood sebanyak RM1 bilion pada kadar faedah yang rendah.

Akan tetapi dalam belanjawan ini kita tidak nampak ada tambahan pinjaman kepada tabung tersebut. Pinjaman Agrofood ini penting untuk meningkatkan value chain pengusaha pertanian ke tahap petani moden dengan

final • 12:32 PM

Tuan Sim Tze Tzin - Bayan Baru

menggunakan agroteknologi yang moden. Saya mengalu-alukan peruntukan pinjaman untuk memodenkan vessel nelayan dalam bajet ini tetapi jangan lupa juga berilah pinjaman kepada petani di Cameron Highlands dan Kundasang untuk membina teknologi green house untuk melipatgandakan hasil sayur- sayuran.

Berilah juga pinjaman membantu penternak ayam dan penternak khinzir yang tradisional untuk mencapai upgrade kepada close house system. Ia akan membantu meningkatkan produktiviti, mengurangkan risiko penyakit dan memelihara alam sekitar. Peruntukan pembangunan dalam Belanjawan 2021 adalah sebanyak RM67.3 bilion iaitu hanya sebanyak 4.6 peratus daripada KDNK. Sebagai negara yang membangun, peruntukan pembangunan seharusnya lebih tinggi. Secara purata, negara membangun seharusnya membelanjakan sebanyak 25 peratus daripada KDNK untuk tujuan pembangunan.

Pada pendapat saya, sektor strategik adalah dalam sektor infrastruktur seperti lebuh raya di kawasan luar bandar dan infrastruktur komunikasi 5G.

Maka projek seperti Pan Borneo Highway sangat penting untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan sosioekonomi di Sabah dan Sarawak.

Begitu juga dengan National Fiberization Plan yang berupaya 5G adalah penting untuk dilaksanakan pada masa sekarang demi pembangunan masa depan negara.

Tuan Yang di-Pertua, baru-baru ini dalam 11.11 single day sales online shopping day sales, Malaysia mencatat sejarah sebagai negara kelima terbesar di dunia dalam membeli barangan secara online dari segi gross merchandise value. Negara terbesar adalah China, kedua US, ketiga Rusia, keempat Perancis, dan surprisingly kelima adalah Malaysia. Saya sangat terkejut. Ia menunjukkan bahawa rakyat Malaysia masih mempunyai kuasa membeli yang amat tinggi tetapi malangnya Ringgit Malaysia mengalir keluar.

Baju, beg, jam tangan dan sebagainya boleh dikatakan majoriti made in China. Maka wang ringgit Malaysia keluar daripada Malaysia. Pada masa yang sama, Malaysia kurang menjual barangan made in Malaysia ke luar negara.

Data Alibaba menunjukkan top 5 barangan kegemaran rakyat China yang mereka beli dari Malaysia adalah nombor satu white coffee, nombor dua Julie’s biscuits, ketiga white coffee, keempat white coffee, kelima white coffee. Malaysia kurang menjual barangan yang lebih bernilai tinggi ya. Ini amat membimbangkan, kerajaan harus membuat sesuatu. Pada masa yang sama, saya juga rasa simpati dengan kedai-kedai fizikal di semua seluruh Malaysia.

Sempena rakyat giat membeli barangan di atas talian, kedai-kedai fizikal sedang sengsara. Ada banyak yang sudah lingkup, peniaga-peniaga kecil ini sangat penting kerana mereka menyara hidup keluarga mereka.

Saya ingin menyeru rakyat Malaysia untuk membeli barangan buatan Malaysia di kedai-kedai fizikal atau online shop milikan rakyat Malaysia. Ini kita kena adakan kempen Safe Malaysia sekarang kerana Malaysia sekarang dalam krisis. Belilah barangan buatan Malaysia dan di kedai-kedai rakyat Malaysia.

Semua pembelian walaupun kecil-kecilan, akan membantu satu keluarga survive dalam krisis ekonomi ini. Ini adalah sangat penting sejajar dengan semangat kita jaga kita.

Tuan Yang di-Pertua, dalam Strategi 4 belanjawan ini, Mengutamakan Agenda Keterangkuman. Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM11.1 bilion untuk pemerkasaan Bumiputera, RM177 juta kepada kaum Cina dan RM100 juta kepada kaum India.

final • 12:32 PM

Tuan Sim Tze Tzin - Bayan Baru

Pembahagian kekayaan mengikut kaum ini adalah politik lama dan pembahagian ini tidak menunjukkan bahawa kita ingin menyatupadukan kaum.

final • 12:40 PM

Tuan Sim Tze Tzin - Bayan Baru

Itu sebab tadi ada wakil rakyat dari Sarawak telah bertanya kenapa tidak ada peruntukan untuk orang Iban atau untuk orang Dayak? Nanti Sabah pula minta kenapa tak ada peruntukan untuk Bumiputera di Sabah.

Jadi, ini adalah politik lama. Padahal kemiskinan ini berlaku dalam semua kaum, di semua wilayah dan semua bangsa. Kita tahu bahawa kemiskinan berlaku kepada majoriti kaum Melayu bumiputera. Akan tetapi, lagi serius dalam kalangan Bumiputera Sabah dan Sarawak. Kemiskinan dalam kalangan orang India juga amat teruk. Begitu juga ada miskin bandar dalam kalangan orang Cina juga.

Kemiskinan ini seperti virus COVID-19, ia boleh berjangkit tidak kira bangsa atau agama. Kita perlu ada pemikiran baharu, iaitu dalam soal pembasmian kemiskinan, ia harus berlandaskan keperluan (need-based) bukan (race-based). Belanjawan ini seharusnya menyatupadukan masyarakat. Saya berharap Kerajaan Perikatan Nasional boleh memikirkan soal kemiskinan dengan pencerahan yang baharu.

Tuan Yang di-Pertua, sebelum saya akhiri, Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong berulang kali memohon ahli-ahli politik utamakan kebajikan rakyat dan hentikan politicking. Saya setuju dengan Titah Tuanku. Belanjawan ini memberi peluang kepada kerajaan menunjukkan keikhlasan bagaimana boleh menyatupadukan politik partisan. Sejujurnya, saya teliti peruntukan untuk JASA itu bermotif politik. Peruntukan kepada Penggerak Komuniti Negara, itu bermotif politik. Pemberian bakul makanan bantuan COVID-19 hanya kepada parti-parti pemerintah, itu bermotif politik. Peruntukan kawasan dihentikan di kawasan pembangkang, itu bermotif politik.

Belanjawan ini seharusnya untuk membantu rakyat yang sangat terkesan dengan COVID-19 seperti kehilangan pekerjaan, perniagaan semakin terdesak dan merudum, bukan main politik. Saya menyeru kepada pihak kerajaan menunjukkan keikhlasan. Saya menyeru pihak kerajaan patuhilah Titah Tuanku. Hentikan segala langkah politik untuk meyakinkan rakyat bahawa Perikatan Nasional ini betul-betul menjunjung Titah Tuanku. Terima kasih.

final • 12:40 PM

Tuan Yang di-Pertua

Terima kasih Yang Berhormat Bayan Baru.

Dipersilakan Yang Berhormat Kimanis.

final • 12:40 PM

Datuk Mohamad bin Alamin - Kimanis

Terima kasih Tuan Yang di- Pertua. Bismillahir Rahmanir Rahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Saya ingin merakamkan ribuan terima kasih kerana memberi saya ruang dan peluang untuk turut serta membahaskan Belanjawan 2021 yang telah pun dibentangkan oleh Yang Berhormat Menteri Kewangan pada 6 November yang lepas. Sebelum saya meneruskan ucapan, saya ingin mengambil kesempatan untuk merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Ahli Parlimen Gerik dan juga keluarga Allahyarhamah ADUN Bugaya di Sabah yang telah kembali ke rahmatullah baru-baru ini.

Semoga roh-roh mereka dicucuri rahmat. Amin ya rabbulalamin. Tuan Yang di-Pertua, saya menyambut baik Belanjawan 2021 yang berjumlah RM322.5 bilion yang berkonsepkan kesejahteraan rakyat, kelangsungan perniagaan dan ketahanan ekonomi –“Teguh Kita, Menang Bersama”. Keseluruhannya ini adalah satu belanjawan mengembang tetapi berfokus kepada usaha memitigasi impak gelombang ketiga COVID-19. Syabas dan tahniah saya ucapkan.

Tuan Yang di-Pertua, pembangunan infrastruktur mesti bersifat menyeluruh. Oleh itu, saya menyambut baik peruntukan sebanyak RM2.7 bilion untuk merapatkan jurang pembangunan bandar dan luar bandar serta sejumlah

final • 12:43 PM

Datuk Mohamad bin Alamin - Kimanis

RM16 bilion untuk Kementerian Pertahanan dan sejumlah RM17 bilion untuk Kementerian Dalam Negeri. Namun, persoalan utama yang saya ingin utarakan ialah bukanlah soal semata-mata jumlah peruntukan. Akan tetapi, kecekapan penyaluran dan pelaksanaan projek-projek di Sabah akan dapat dipertingkatkan jauh lebih baik melalui penurunan lebih banyak kuasa (devolution of power) dengan izin, kepada agensi kerajaan negeri.

Saya mengharapkan Kerajaan Perikatan Nasional pada hari ini dapat merealisasikan dan sekurang-kurangnya menampakkan harapan dan kesungguhan untuk memberikan apa yang saya katakan tadi sebagai devolution of power dan juga desentralisasi pentadbiran, seiring dengan semangat dan aspirasi Perjanjian Malaysia 1963.

Tuan Yang di-Pertua, berkaitan hal ini, kerajaan menyediakan sebanyak RM800 juta untuk kerja-kerja penyelenggaraan dan pembaikan sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan. Sejumlah RM725 juta untuk menaik taraf bangunan serta infrastruktur sekolah daif berikutan keperluan mendesak di Sabah. Saya ingin bertanya, berapakah peratus daripada dana ini akan disalurkan ke negeri Sabah? Saya mohon kerajaan beri tumpuan khusus kepada sekolah-sekolah yang bukan sahaja daif, tetapi juga sekolah yang sering berlaku ataupun yang sering berhadapan risiko bencana alam seperti banjir.

Saya suka memaklumkan di Dewan yang mulia ini saya berkali-kali menyuarakan di kawasan saya yang Labat Datu Tuan Yang di-Pertua, ada sekolah yang bernama Sekolah Kebangsaan Daingin Kimanis. Sekolah ini apabila berlaku hujan lebat sedikit pun maka akan berlaku banjir. Apabila banjir berlaku maka banyaklah kerosakan-kerosakan yang berlaku terhadap sekolah itu. Maka, sudah sampai masanya saya minta kerajaan melalui Kementerian Pendidikan Malaysia, pindahkan sekolah ini. Kita sudah dapat tapak yang sesuai di tempat yang lebih tinggi. Saya minta dipindahkan sekolah ini serta- merta.

Tuan Yang di-Pertua, akses internet – begitu juga halnya. Laporan Berita Harian baru-baru ini, 8 Mei 2020 menyatakan bahawa sebanyak 52 peratus pelajar di Sabah tidak mempunyai akses internet dan telefon pintar. Ini satu lagi kemudahan asas yang wajib diberi perhatian. Saya ingin bertanya apakah status terkini? Saya faham, semalam ada taklimat daripada kementerian atau Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia bahawa akan dibina menara-menara di Sabah sebayak 425 buah. Jadi, saya minta sejauh manakah pelaksanaan ini akan melebar ke seluruh negeri Sabah. Saya difahamkan ada tiga buah menara akan dibina di kawasan Kimanis, alhamdulillah terima kasih banyak kepada kerajaan yang telah mendengar denyut nadi rakyat yang sering menyatakan soal isu internet dan juga line telefon di negeri Sabah.

Tuan Yang di-Pertua, di Sabah ini sektor pelancongan merupakan satu sektor yang cukup penting. Sektor pelancongan adalah antara penyumbang terbesar kepada pendapatan negeri Sabah. Akan tetapi, hari ini industri ini hampir ranap dan lumpuh di negeri Sabah. Di samping inisiatif jangka pendek seperti lanjutan tiga bulan Program Subsidi Upah, Geran Khas PRIHATIN, kerajaan mesti mula merangka pelan strategik dan jangka panjang pasca- COVID-19 untuk menghidupkan dan memacu industri pelancongan negara terutama sekali di Sabah.

Soalan saya Tuan Yang di-Pertua, berapakah jumlah daripada pakej rangsangan RM200 juta seperti yang diumumkan oleh Yang Berhormat Menteri Pelancongan yang dikhaskan kepada negeri Sabah? RM50 juta disediakan juga untuk selenggara dan baik pulih kemudahan pelancongan di seluruh negara, berapakah daripada jumlah ini akan diperuntukkan untuk negeri Sabah?

Tuan Yang di-Pertua, saya juga seperti rakan-rakan yang lain ingin mengambil kesempatan untuk memohon kerajaan dapat memberi pertimbangan yang sewajar-wajarnya tentang KWSP ini. Kita tahu rakyat di bawah, kita ada

final • 12:43 PM

Datuk Mohamad bin Alamin - Kimanis

B40 dan M40. Mereka ini memang golongan-golongan yang terjejas. T20 mungkin tidak. Akan tetapi, saya minta kepada kerajaan pada hari ini rakyat ingin melihat bahawa ada satu kesungguhan daripada kerajaan.

final • 12:43 PM

Datuk Mohamad bin Alamin - Kimanis

Saya minta– kita diberi taklimat yang cukup baik dan maklumat yang cukup baik tentang bagaimana KWSP ini akan diberi. Saya mohon ia akan dipermudahkan dan mencapai sasaran kepada pencarum-pencarum KWSP di seluruh negara.

Soal unjuran, unjuran untuk golongan B40, M40 dan T20 ini. Unjuran ini saya percaya dibuat sebelum COVID-19. Akan tetapi apabila COVID-19 terjadi, saya yakin golongan B40 dan M40 ini unjurannya sudah berbeza. Mungkin golongan B40 sudah menjadi B60, golongan M40 sudah menjadi M20 dan ataupun sebagainya. Saya minta kerajaan untuk mengkaji semula tentang unjuran-unjuran ini.

Tuan Yang di-Pertua, golongan-golongan usahawan kecil dan sederhana yang ramai terjejas apabila COVID-19 melanda, mereka susah membayar pinjaman-pinjaman mereka. Hari ini kita bicara soal moratorium, Tuan Yang di-Pertua. Moratorium ini berkisar soal bank-bank sahaja. Kita tahu bidang kuasa Kementerian Kewangan hanya soal bank-bank. Akan tetapi bagaimanakah pula dengan agensi-agensi kerajaan yang lain yang memberi pinjaman usahawan, khususnya kepada PKS ini. Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dan TEKUN, mereka mungkin sudah memberikan moratorium. Akan tetapi bagaimanakah agensi-agensi yang lain?

Jadi, saya mintalah keadaan yang sedikit kelam-kabut pada hari ini, saya minta kepada kerajaan menubuhkan satu jawatankuasa ataupun pasukan bersepadu merentasi kementerian-kementerian yang lain dan libatkan juga kerajaan-kerajaan negeri di seluruh negara supaya menyatakan dan memberikan apakah agensi-agensi pemberi pinjam wang, memberi pinjaman berniaga, umpamanya. Jadi, mereka akan memberikan maklumat-maklumat ini apabila jawatankuasa ini bersidang dan berbincang.

Jadi, saya minta supaya jangan ada lagi situasi yang kelam-kabut.

Katanya, “Oh, ini bukan daripada bidang kuasa Kementerian Kewangan”. Katanya, “Oh, ini bukan bidang kuasa kami”. Jadi maknanya, rakyat ingin moratorium, rakyat ingin dibela. Wujudkan pasukan bersepadu dengan segera.

Saya minta kerajaan ambil perkara ini dengan serius kerana kita tidak mahu, rakyat sebenarnya terhimpit pada hari ini tidak ada pembelaan. Mereka mahu pembelaan, mereka mahu pembelaan. Yakinlah bahawa mereka sedang memerhatikan kita pada hari ini.

final • 12:50 PM

Dato’ Haji Salim Sharif - Jempol

Yang Berhormat Kimanis, sikit Yang Berhormat Kimanis.

final • 12:50 PM

Datuk Mohamad bin Alamin - Kimanis

Siapakah ini? Oh, Yang Berhormat Jempol. Sila, sila.

final • 12:50 PM

Dato’ Haji Salim Sharif - Jempol

Mengenai apa yang disebut oleh Yang Berhormat Kimanis sebentar tadi, saya merasakan bahawa syarikat peminjam ini tidak di bawah Bank Negara. Jadi, adakah Yang Berhormat Kimanis bersetuju supaya semua syarikat peminjam wang dalam apa bentuk sekalipun diletakkan di bawah Bank Negara, agar satu arahan yang tetap dapat dibuat. Bukan lagi seperti yang ada, di bawah majlis perbandaran ada, di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, ia agak menyukarkan untuk kita mengawal-selia apa juga yang kita putuskan di Parlimen ini. Mohon untuk ini, Yang Berhormat.

final • 12:50 PM

Datuk Mohamad bin Alamin - Kimanis

Saya sangat setuju dengan cadangan sahabat saya daripada Jempol. Ya lah saya katakan tadi bahawa ada

final • 12:50 PM

Datuk Mohamad bin Alamin - Kimanis

satu tindakan secara bersepadu dan segera dibuat. Saya minta kenyataan Yang Berhormat dimasukkan dalam ucapan saya.

Dalam waktu yang singkat ini, izinkan saya selama satu minit, Tuan Yang di-Pertua. Saya bercakap soal COVID-19 di negeri Sabah ini. Saya menjunjung kasih Titah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di- Pertuan Agong kerana telah mengisytiharkan darurat untuk kawasan Batu Sapi.

Maka, tidak ada PRK Batu Sapi, alhamdulillah. Dalam kenyataan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri sendiri malam tadi pun mengambil iktibar daripada PRN Sabah bahawa perlu kita buat gencatan politik ataupun kita darurat.

Daruratkan kawasan Batu Sapi, supaya jangan ada lagi COVID-19 yang begitu dahsyat melanda di negeri Sabah.

Cuma, dalam isu COVID-19 di negeri Sabah ini, Tuan Yang di-Pertua, saya menerima beberapa maklumat dan pandangan daripada kawan-kawan yang ada di negeri Sabah bahawa perlu ada keselarian di antara rancangan- rancangan pelaksanaan. Di Sabah itu ada Jawatankuasa Khas Menangani COVID-19 tetapi kadang-kadang ada percanggahan dari segi pelaksanaan.

Jadi, saya mintalah kepada kerajaan melalui Kementerian Kesihatan untuk melihat keselarian dari segi pelaksanaan dan apa juga perancangan yang akan dibuat untuk menangani COVID-19.

Kedua, kita tahu bahawa peralatan-peralatan dan kemudahan- kemudahan kesihatan di Sabah itu masih banyak kekurangannya. Jadi, untuk memudahkan bekalan peralatan dan kemudahan kesihatan ini dapat disalurkan dengan cepat, maka mudahkan proses, procurement process. Proses perolehan itu harus dipermudahkan. Kenapa tidak diberikan kuasa ini kepada Kerajaan Negeri Sabah? Mereka ada Jawatankuasa Khas tentang COVID-19 ini.

Tuan Yang di-Pertua, tentang kedudukan doktor dan jururawat. Kita melihat baru-baru ini, kerajaan telah mengambil keputusan untuk menghantar doktor, pakar, doktor perubatan dan jururawat ke negeri Sabah untuk membantu pasukan untuk menangani COVID-19 di negeri Sabah. Akan tetapi tahu kah tidak bahawa di Sabah itu punya ramai doktor-doktor dan punya ramai jururawat tetapi doktor-doktor yang kontrak (contract). Saya ingin mencadangkan kerajaan melihat bagaimanakah kedudukan doktor-doktor kontrak ini yang sudah lama berkhidmat, malah mereka menjadi houseman dulu selama dua tahun.

Disambung lagi dua tahun kontrak tetapi selepas itu tidak ada penyerapan jawatan ke jawatan tetap. Saya minta kerajaan melihat. Isu ini harus dilihat. Kita serapkan semua doktor kontrak ini kepada jawatan tetap. Selepas jawatan tetap itu dapat, mereka sebelum ini dapat tawaran-tawaran untuk melanjutkan pelajaran dengan mengambil masters dan menjadi doktor pakar. Hari ini skim itu sudah tidak ada dan ramai doktor diserap tetapi tidak ada peluang untuk menjadi doktor pakar pada hari ini.

Jururawat sama juga. Kita ada lambakan jururawat di negeri Sabah, Tuan Yang di-Pertua, yang telah tamat belajar di kolej-kolej kejururawatan tetapi tidak dilantik, tidak mempunyai peluang untuk pengambilan (recruitment), jururawatnya terlalu sedikit, sedangkan jururawat kita di Sabah terlalu banyak.

Saya kasihan melihat ada lepasan daripada kolej kejururawatan mereka bekerja di mana? Di supermarket, di kedai-kedai handphone dan sebagainya...

final • 12:50 PM

Tuan Noor Amin bin Ahmad - Kangar

Masa, masa.

final • 12:50 PM

Datuk Mohamad bin Alamin - Kimanis

Jadi, saya minta kerajaan melihat isu ini untuk jangka masa yang panjang. Apabila ada lagi COVID-19 ataupun apa-apa lagi yang lain, kita ada tenaga-tenaga yang cukup di negeri Sabah ini.

Akhirnya Tuan Yang di-Pertua, saya mohon kerajaan yang sedia ada untuk menimbang dengan sewajarnya isu yang telah saya utarakan tadi.

final • 12:50 PM

Datuk Mohamad bin Alamin - Kimanis

Semoga Allah SWT memberikan kita kekuatan dan kemakmuran berpanjangan kepada negara kita. Saya sudahkan dengan Wabillaahi taufiq walhidayah, wassalamua’alaikum warahmatullaahi wabarakaatuh. Kimanis, mohon menyokong.

final • 12:50 PM

Tuan Yang di-Pertua

Wa’alaikumussalam. Terima kasih Yang Berhormat Kimanis. Saya mempersilakan Yang Berhormat Segambut.

final • 12:50 PM

Puan Hannah Yeoh - Segambut

Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.

Segambut memulakan perbahasan dengan menyentuh isu banjir di Kuala Lumpur. Segambut mahu kapasiti Sungai Toba dan Sungai Keroh dibesarkan untuk menghadapi banjir di Kuala Lumpur. Jika ini tidak dilaksanakan dengan segera, setiap kali hujan turun, pasti kampung-kampung di Segambut semuanya diancam. Saya minta Kementerian Wilayah segerakan perjumpaan dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk memastikan bajet mencukupi untuk kerja-kerja ini tahun depan.

Taska untuk frontliners. Saya gembira melihat peruntukan sebanyak RM30 juta telah pun dikembalikan di dalam Belanjawan 2021 bagi penyediaan taska khas untuk frontliners selepas desakan yang telah kami buat bulan lepas.

Realitinya hari ni Tuan Yang di-Pertua, masih terdapat ramai frontliners yang tidak mempunyai sokongan penjagaan anak. Oleh itu, saya menggesa Yang Berhormat Menteri KPWKM untuk tidak mengambil shortcut, dengan izin, dan mengulangi kesilapan tahun ini dengan menggunakan peruntukan taska bagi frontliners sebagai geran PENJANA. Biar RM30 juta ini digunakan dengan menubuhkan lebih banyak taska di tempat kerja untuk frontliners, terutamanya di hospital, balai polis dan agensi kerajaan yang beroperasi secara syif. Jangan tulis surat sekali sahaja kepada agensi dan kemudian menganggap mereka tidak berminat jika mereka tidak membalas surat.

Saya juga difahamkan bahawa kementerian hanya memproses permohonan yang melalui KSU. Saya bagi contoh, kalau permohonan untuk taska frontliners ini datang daripada satu buah balai polis, KPWKM tidak meluluskan permohonan kerana ia mesti dikemukakan oleh KDN. Ini saya panggil birokrasi. Saya mohon penjelasan kerana saya lihat ini hanya satu masalah pentadbiran. Jangan sesekali kita mengutamakan birokrasi sehingga kanak-kanak frontliners dijadikan mangsa.

Saya juga mahu Yang Berhormat Menteri KPWKM membenarkan peruntukan sebanyak RM30 juta ini bukan sahaja untuk membina taska baharu tetapi boleh juga digunakan untuk menambah kapasiti taska sedia ada di hospital kerajaan supaya lebih ramai lagi jururawat dan doktor boleh menghantar anak mereka untuk dijaga.

‘#Kitajagakita’ sebenarnya satu teguran tegas ataupun admonishment, dengan izin, kerana ia mencerminkan kelembapan, ketidakcekapan kerajaan sekarang.

final • 12:57 PM

Puan Hannah Yeoh - Segambut

Yang Berhormat Menteri mengambil sikap malas, tidak proaktif dan sikap tidak peduli ini tidak akan menyebabkan masalah itu hilang tetapi ia hanya akan menambah kesengsaraan rakyat. Saya lihat pada hari ini Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hadir di dalam Dewan untuk mendengar perbahasan Ahli Parlimen mengenai Bajet 2021 dan saya rasa ini wajar dipuji. Akan tetapi kalau kita melihat kehadiran Yang Berhormat Menteri dan Yang Berhormat Timbalan Menteri yang lain di Parlimen, cukup mendukacitakan.

final • 1:00 PM

Puan Hannah Yeoh - Segambut

Ada kementerian yang sampai ada dua orang Timbalan Menteri tetapi tidak hadir menghadiri sidang Dewan. Dulu Timbalan Menteri semua ditugaskan untuk menjawab soalan Parlimen setiap hari. Kita terpaksa menjawab beberapa soalan tambahan setiap kali bangun berhadapan dengan Ahli Parlimen.

Sekarang ini saya lihat fungsi ini sudah hampir hilang. Kabinet ini bernasib baik kerana sejurus sahaja dilantik, terus masuk tempoh PKP. Kebanyakan program dibatalkan.

Sepatutnya dengan pembatalan banyak program, Yang Berhormat Menteri dan Timbalan Menteri seharusnya mempunyai lebih banyak masa untuk menghadiri Dewan dan memperhalus polisi ataupun berjumpa dengan pemegang taruh (stakeholders) dengan izin. Ini tidak, saya difahamkan para pengasuh dan pengusaha taska serta tadika masih belum lagi dapat bertemu dengan Yang Berhormat Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat ataupun timbalannya, Yang Berhormat Menteri Pendidikan ataupun timbalannya. Sibuk buat apa kalau stakeholders yang terkesan tidak ada peluang berjumpa dengan pembuat dasar yang sepatutnya memperjuangkan nasib mereka?

Saya bagi satu lagi contoh Tuan Yang di-Pertua, Jawatankuasa Tangani Keganasan Rumah Tangga telah pun ditubuhkan tetapi malangnya Yang Berhormat Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menjawab bahawa setakat tahun ini, hanya satu mesyuarat sahaja telah dipanggil antara semua agensi dan NGO yang terlibat. Isu keganasan rumah tangga ini sangat penting. Bulan Mac mereka angkat sumpah, PKP dilaksanakan dan NGO rata-rata melaporkan peningkatan aduan tetapi bulan April, Mei, Jun, Julai, Ogos, September, Oktober dan November, lapan bulan hanya satu mesyuarat. Di mana letaknya keutamaan, kebajikan golongan wanita ini?

[Timbalan Yang di-Pertua (Dato' Mohd Rashid Hasnon) **mempengerusikan Mesyuarat****] Saya juga mahu Pusat Sokongan Sosial Setempat RM21 juta yang telah diumumkan diberikan kepada NGO yang betul-betul membuat kerja seperti Woman Aid Organization dan bukan digunakan untuk meraih undi di negeri- negeri PN sahaja. Jangan sesekali kita mengabaikan negeri pembangkang seperti negeri Selangor yang selalu mempunyai kes sosial yang lebih tinggi kerana populasi transit mereka sangat tinggi.

Saya juga mahu pegawai JKM dikecualikan dengan serta-merta daripada tugas di pusat kuarantin yang sepatutnya dikendalikan oleh NADMA dan pegawai JKM seharusnya fokus menyelesaikan bantuan permohonan kebajikan. Ini adalah perkhidmatan asas JKM. Ini di Wilayah Persekutuan sahaja kita ada 2,000 kes yang tertunggak. Apa gunanya pengumuman penambahan bantuan kebajikan jika terdapat banyak backlog permohonan yang tidak dapat diselesaikan?

Isu seterusnya Daftar Bunuh Diri Kebangsaan (National Suicide Registry Malaysia). Apakah status terkini? Bilakah undang-undang sedia ada yang mengkategorikan cubaan membunuh diri sebagai kesalahan jenayah akan dimansuhkan? Tanpa adanya daftar (registry) ini, data dan statistik ini tidak akan dapat diperhalusi dan intervensi juga tidak dapat dijalankan untuk membantu peratusan golongan yang saya percaya semakin meningkat. Saya juga mahu Kementerian Kesihatan Malaysia membawa Program Mentari mereka ke shopping malls. Ini boleh menghapuskan stigma dalam komuniti untuk mereka yang perlu mendapatkan bantuan.

final • 1:00 PM

Puan Hannah Yeoh - Segambut

Segambut juga mahu satu taskforce khas diwujudkan di Putrajaya bersama Kerajaan Negeri Selangor dan Negeri Sembilan untuk mengatasi kes pencemaran sungai yang terlalu kerap berlaku dan taskforce ini seharusnya bermesyuarat setiap minggu dan melibatkan pelbagai kementerian yang mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan. Insiden terbaru kali ini yang melibatkan agensi seperti IWK, SPAN, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) telah mula mengeluarkan kenyataan dan mereka saling menuding jari. Bekalan air mesti dilihat sebagai subjek keselamatan negara dan perlu diberi perhatian dan sumber dana serta tenaga kerja yang tinggi. Saya mahu kerajaan menyatakan komitmen dan kesediaan taskforce ini diwujudkan dengan serta-merta.

Majlis Keselamatan Negara. SOP yang sentiasa ditukar dan tidak spesifik telah mengakibatkan kekeliruan dan kerugian kepada rakyat. MKN digesa memuktamadkan semua SOP sebelum ia dikeluarkan tanpa orang ramai perlu menunggu pengumuman kementerian yang lain sebagai rujukan. Saya bagi contoh, SOP bekerja dari rumah (work from home) yang terlalu umum dan sangat mengelirukan. Yang Berhormat Menteri Dato' Sri Ismail Sabri bin Yaakob umumkan untuk tunggu Yang Berhormat Menteri Dato' Seri Mohamed Azmin bin Ali bagi butiran. Kemudian Yang Berhormat Menteri Dato' Seri Mohamed Azmin bin Ali pula bagi butiran sektor industri yang menyebabkan Yang Berhormat Menteri Dato' Sri Ismail Sabri bin Yaakob pula diminta untuk memberi lebih banyak lagi penjelasan. Jadi arahan yang mengelirukan ini dan setengah masak mengakibatkan ketidakpastian kepada masyarakat di luar sana terutamanya komuniti perniagaan dan mereka yang berkeluarga. Mereka inilah yang paling terkesan kerana bagi sesebuah perniagaan, setiap hari begitu penting bagi mereka.

Tuan Yang di-Pertua, saya juga menggesa Menteri-menteri yang bertanggungjawab segera belajar untuk menyelaras secara bersama sebelum sesuatu keputusan diambil kerana PKP ini bukan satu perkara yang baharu, ia telah bermula sejak bulan Mac. Lihatlah SOP yang mengarahkan pusat pengajian tinggi ditutup. Kita bandingkan dengan SOP yang membenarkan ibu bapa bekerja tetapi pusat jagaan kanak-kanak bawah Yang Berhormat Menteri Datuk Seri Rina binti Mohd Harun, taska boleh beroperasi, tadika di bawah Kementerian Pendidikan pula diarahkan untuk tutup. Ini seolah-olah memberikan gambaran bahawa COVID-19 ini ada pilihan untuk memilih mangsa mereka berdasarkan umur dan bidang kuasa kementerian. Apa yang paling menakutkan kita ialah sekiranya COVID-19 tidak pun membunuh ekonomi kita, semestinya ketidakcekapan para Menteri dalam penyelarasan SOP ini akan membunuh sektor ekonomi di luar sana.

Ada isu lain pula, tanya MKN, MKN kata rujuk kepada KKM. Kita tanya KKM, KKM pula kata tanya balik kepada MKN. Ini banyak berlaku semasa PKP baru dilaksanakan dan pejabat saya menerima banyak distress calls terutamanya daripada ahli keluarga yang sakit tenat ataupun persediaan ahli keluarga menghadiri pengebumian (funeral). Sehingga hari ini, masih ramai lagi ahli keluarga yang terpisah akibat penutupan sempadan negara. Ini tidak boleh berpanjangan dan saya meminta supaya kita bukan jaga sahaja kesihatan fizikal rakyat tetapi kesihatan mental dan emosi juga mesti dijaga.

final • 1:00 PM

Timbalan Yang di-Pertua - Dato' Mohd Rashid Hasnon

Minta rumuskan Yang Berhormat. Ada 30 saat lagi.

final • 1:00 PM

Puan Hannah Yeoh - Segambut

Okey. Bagi dua minitlah kerana tadi mencelah semua. Ini adalah isu penting. Saya tidak adapun perbahasan politik, saya terus kepada isu semasa.

final • 1:00 PM

Timbalan Yang di-Pertua - Dato' Mohd Rashid Hasnon

Teruskan, teruskan tapi ikut masa.

final • 1:00 PM

Puan Hannah Yeoh - Segambut

Okey. Peruntukan JASA RM85 juta.

Bila saya bangkitkan keperluan wujudkan agensi kanak-kanak untuk 30 peratus populasi rakyat, saya selalu diberitahu ada kekangan dana dan impak kewangan untuk penubuhan unit baharu kerana melibatkan tenaga kerja dan penstrukturan semula. Akan tetapi kalau kita bandingkan dengan betapa senangnya unit JASA boleh dihidupkan semula, saya fikir ini tidak adil dan sememangnya satu kekejaman terhadap golongan kanak-kanak yang lebih memerlukan peruntukan JASA ini.

Saya telah buat satu pengiraan basic Tuan Yang di-Pertua, apa yang kita boleh beli dengan RM85 juta ini. Dua juta helai PPE, 267 juta helai facemask, 42,000 laptop untuk kanak-kanak dan pelajar, 10 ribu buah sekolah seluruh Malaysia boleh menerima geran hampir RM8,000 untuk beli sanitizer dan handwash, sebanyak 17,000 taska dan tadika boleh menerima geran RM5,000 untuk melawan COVID-19 dengan peruntukan ini, sejumlah 855,000 boleh menerima bakul makanan, mewujudkan 171 jawatan Pesuruhjaya SUHAKAM (commissioners), sebanyak 1,500 buah rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di Semenanjung boleh dibina dan 1,200 buah rumah ini boleh dibina di Sabah dan Sarawak dengan menggunakan peruntukan JASA.

Kita juga boleh membiayai Zoo Negara untuk 85 bulan iaitu hampir tujuh tahun dengan peruntukan JASA.

Jadi perbahasan Belanjawan 2021 kali ini bukan mainan politik Tuan Yang di-Pertua. Dalam keadaan COVID-19 yang amat mencabar untuk ekonomi, setiap sen yang dikutip oleh kerajaan merupakan hasil titik peluh rakyat yang diusahakan dengan penuh cabaran. Oleh sebab itu, kali ini setiap sen yang akan dibelanjakan oleh kerajaan mesti diukur dengan membandingkan kewajaran kerajaan untuk membazirkan RM85 juta bagi tujuan propaganda yang mengaburi mata rakyat.

Akhir sekali Tuan Yang di-Pertua, saya menyeru penjawat awam untuk bangkit sebagai benteng terakhir rakyat Malaysia mendapatkan pembelaan, perlindungan, keadilan dan kebenaran. Jika Kabinet ataupun ahli politik PN mengarahkan sesuatu tindakan yang membelakangkan rakyat dan menyusahkan ataupun merugikan generasi yang akan datang, penjawat awam wajar bersuara. Dalam dua tahun ini, semasa Kerajaan PH berkuasa, penjawat awam telah diberikan mandat ataupun kebebasan melaksanakan tugas dari ‘saya yang menurut perintah’ kepada ‘saya yang menjalankan amanah’.

final • 1:00 PM

Puan Hannah Yeoh - Segambut

Penukaran penggunaan frasa ini cukup penting supaya penjawat awam menghayati bahawa setiap perintah dan tugasan ialah amanah yang perlu digalas sebaiknya. Bukan untuk kepentingan kerajaan sekarang tetapi untuk rakyat Malaysia iaitu generasi akan datang.

Jangan takut untuk bersuara semasa bermesyuarat, jangan takut untuk melaporkan salah guna kuasa mendapatkan kontrak melalui surat sokongan dan jangan jadi yes man. Contoh kementerian yang mampu memberikan kualiti perkhidmatan pada tahap tertinggi walaupun kepimpinan eksekutif mereka lemah, adalah Kementerian Kesihatan Malaysia.

Tanggungjawab yang digalas untuk memberikan perkhidmatan terbaik hanya boleh wujud jika penjawat awam mengingati bahawa bos ku yang sebenar adalah rakyat Malaysia dan bukan pemimpin yang akan bertukar.

Syabas Kementerian Kesihatan Malaysia. Itu sahaja. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.

final • 1:10 PM

Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Mohd Rashid Hasnon

Baik, terima kasih Yang Berhormat Segambut. Sekarang saya jemput Yang Berhormat Betong.

final • 1:10 PM

Datuk Robert Lawson Chuat - Betong

Terima kasih Tuan Yang di- Pertua kerana memberi peluang kepada saya untuk turut terlibat dalam perbahasan Belanjawan 2021. Terlebih dahulu saya ingin merakamkan penghargaan serta ucapan terima kasih di atas Belanjawan 2021 yang komprehensif terutamanya bagi peruntukan yang menyasarkan rakyat Sarawak di Bumi Kenyalang.

Contohnya seperti berikut, aspek pembangunan. Perbelanjaan pembangunan RM4.5 bilion untuk Sarawak di antaranya untuk membina dan menaik taraf infrastruktur bekalan air, elektrik dan jalan raya, kemudahan kesihatan dan pendidikan. Peningkatan peruntukan ini jelas menunjukkan kerajaan menitik beratkan infrastruktur bagi masyarakat di Sarawak.

Memandangkan keperluan kita untuk merancakkan lebih banyak program pembangunan di negeri yang luas dan lebih besar, kita dari Sarawak amatlah mengharapkan peruntukan pembangunan yang lebih besar juga.

Sekurang-kurangnya setanding dengan peruntukan bagi negeri Sabah.

Aspek bantuan subsidi bersasar. Subsidi bantuan dan insentif yang diperuntukkan juga dilihat sedikit sebanyak dapat membantu golongan yang memerlukan. Kita sedia maklum bahawa rakyat sangat terkesan dengan impak daripada pandemik COVID-19. Saya berharap bantuan dan insentif ini kelak akan sampai kepada golongan sasar yang amat memerlukan tanpa sebarang keciciran.

Aspek perkhidmatan kemudahan bank bergerak. Perluasan perkhidmatan bank bergerak di Sarawak dapat membantu masyarakat yang sukar mendapat akses perbankan asas seperti pemindahan wang, pembayaran bil dan kemudahan mengeluarkan wang bantuan kerajaan seperti Bantuan Prihatin Rakyat (BPR). Melalui perkhidmatan ini, penduduk di luar bandar dan pedalaman akan mendapat manfaat. Mungkin boleh diperincikan lagi jumlah perkhidmatan bank bergerak di satu-satu kawasan mengikut keperluan dan kepadatan penduduk setempat.

Aspek memelihara Hak Adat Bumiputera, NCR Land. Peruntukan untuk pengukuran Tanah Hak Adat Bumiputera atau NCR juga telah diberi semula dalam belanjawan kali ini dan ia amat disambut baik. Justeru itu, langkah ini akan memperkasakan lagi program pengukuran tanah NCR sekali gus dapat memberi manfaat kepada pemilik-pemilik tanah NCR.

Aspek membantu sekolah. Difahamkan bahawa 184 buah projek pembinaan dan pemasangan bekalan air telaga tiub baharu dengan kos keseluruhan berjumlah RM120 juta bagi sekolah di luar bandar Sabah dan Sarawak juga akan dibantu. Melalui pelaksanaan projek-projek ini kelak secara tidak langsung akan menyumbang kepada aspek pembangunan dalam negeri Sarawak.

Tuan Yang di-Pertua, saya cuba untuk mendapatkan gambaran bagaimana kerajaan melalui belanjawan yang dibentangkan dapat membantu pembangunan industri pertanian terutamanya di negeri Sarawak. Sehubungan dengan itu, saya ingin memohon penjelasan bagaimana Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dapat membantu pengusaha-pengusaha produk makanan atau pertanian, khususnya di Sarawak dalam membuka peluang bagi membolehkan mereka memasarkan produk-produk pertanian supaya dapat menembusi hypermarket dan seterusnya ke peringkat pasaran antarabangsa yang lebih luas.

Saya turut ingin mendapatkan pandangan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) berhubung strategi kementerian untuk meningkatkan

final • 1:11 PM

Datuk Robert Lawson Chuat - Betong

keupayaan pengusaha-pengusaha pertanian di Sarawak serta peluang pembangunan tanah pertanian mereka.

Masyarakat di Sarawak memiliki tanah terutama Tanah Hak Adat, Native Customary Rights. Ada yang diusahakan dan tidak kurang juga yang terbiar. Ada yang berjaya, ada juga yang tidak. Tanah-tanah ini sekiranya diusahakan secara sistematik mampu memberikan pulangan yang economical.

Masalahnya kini, pengusaha pertanian ini memerlukan bimbingan dan sokongan untuk meningkatkan kemahiran mereka berhubung aspek pengurusan dan pembangunan tanah pertanian mereka. Kebolehpasaran produk pertanian mereka, kita boleh bantu perkembangkan.

Isu berkenaan kemudahan bagi mendapatkan akses pemasaran baru pasaran domestik dan antarabangsa yang sangat terhad. Ini mengehadkan permintaan terhadap kemampuan optimum pengeluaran produk pertanian dan ramai yang kurang berminat bekerja di dalam industri ini. Sebaliknya, beralih mencari pekerjaan di sektor lain yang lebih terjamin terutamanya bagi golongan belia.

Sekiranya wujud permintaan yang tinggi di dalam dan luar negara terhadap produk-produk pertanian terutama di Tanah Hak Adat ini, kita dapat mewujudkan satu eko sistem pertanian yang lebih komprehensif. Sudah tentu inisiatif pembangunan Tanah Hak Adat mahupun tanah pertanian yang lain boleh digerakkan dengan lebih rancak serta produktif, terutama dalam skala serta kapasiti pengeluaran yang lebih besar. Justeru itu, lebih banyak industri hiliran akan berkembang pesat serta meningkatkan taraf hidup masyarakat di luar bandar Sarawak.

Saya turut ingin mengintai peluang yang lebih ditawarkan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MIDEC). Sekiranya pengusaha tanah ini dapat distrukturkan untuk bergerak secara berkoperasi bagi membangunkan taraf sosioekonomi mereka. Berapakah jumlah koperasi pertanian yang masih aktif di Sarawak setakat hari ini? Apakah strategi dan sasaran kementerian untuk menambahkan bilangan koperasi berdasarkan pertanian di Sarawak?

Bagaimana koperasi dan kementerian dapat membimbing daripada aspek peningkatan ilmu, bimbingan dan kepakaran anggota koperasi berhubung pengurusan dan pembangunan tanah yang terancang, efisien dan berdaya maju bagi mengembangkan lagi tanah pertanian mereka seperti kejayaan koperasi pertanian di negara Jepun.

Tuan Yang di-Pertua, saya percaya sekiranya pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan dan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi dapat membantu membela nasib pengusaha pertanian ini terutama di dalam memberikan bantuan dan peluang dalam aspek pembangunan tanah pertanian, pendayaupayaan produk pertanian yang lebih berkualiti dan kebolehpasaran terutama daripada segi pembungkusan, jenama atau pelabelan.

Sebagai contohnya label Buatan Malaysia. Sudah tentu produk tempatan dari Malaysia khususnya di Sarawak yang mempunyai keunikan tersendiri mampu pergi jauh dapat menepati standard dan keperluan rantaian pasaran secara konsisten di peringkat global, setanding jenama terkenal yang lain.

Tuan Yang di-Pertua, antara isu yang fikirkan wajar diketengahkan berhubung kebolehupayaan produk tempatan dipasarkan di hypermarket adalah melalui cara pemilikan ekuiti di dalam rancangan peruncitan di negara ini. Di sini saya turut ingin menarik perhatian Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) untuk melihat kaedah serta potensi pemilik ekuiti sektor peruncitan di Malaysia yang bertaraf antarabangsa yang sudah ternama dan

final • 1:11 PM

Datuk Robert Lawson Chuat - Betong

mempunyai jaringan pasaran yang luas di Eropah, Amerika Syarikat, Jepun dan sebagainya supaya produk Malaysia boleh mendapat tempat serta keutamaan dan capaian secara global.

Saya mengharapkan satu titik pertemuan dapat dirumuskan melalui pembangunan strategi dan hubungan kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri Sarawak serta pasar raya-pasar raya terkemuka dalam negara untuk membantu pengusaha-pengusaha produk pertanian ini.

Isu krisis pandemik COVID-19 begitu membimbangkan dan telah membuka mata kita betapa pentingnya penekanan diberikan terhadap sektor pertanian terutama dari segi kecukupan bekalan makanan dengan izin food security and food sustainability. Pembangunan dan penyelidikan sektor pertanian serta sejauh mana seriusnya kebergantungan kita terhadap negara lain bagi mendapatkan bekalan makanan.

final • 1:11 PM

Datuk Robert Lawson Chuat - Betong

Apakah persediaan kita untuk bersedia berhadapan dengan pandemik ini terutama dari segi kecukupan, keberadaan dan kestabilan makanan?

Apakah bantuan kerajaan terutama Kementerian Pertanian dan Industri Makanan untuk membantu pengusaha pertanian ini terutama yang berskala kecil dalam waktu yang mencabar ini?

final • 1:20 PM

Timbalan Yang di-Pertua - Dato' Mohd Rashid Hasnon

Yang Berhormat Betong ada 36 saat sahaja lagi.

final • 1:20 PM

Datuk Robert Lawson Chuat - Betong

Tuan Yang di-Pertua, sekiranya pihak kerajaan dapat menjana pendekatan secara kolektif dan mewujudkan pelan tindakan yang terperinci, saya yakin dan percaya bahawa bukan hanya sektor pertanian yang diusahakan melalui tanah adat di negeri Sarawak ini akan bertumbuh dengan lebih progresif tetapi kemajuan ini akan membawa transformasi yang signifikan di dalam landskap pertanian secara keseluruhannya di mana kita akan dapat menangani masalah food security dan menjadikan negara ini self sustainable dari segi bekalan makanan.

Maka lebih ramai agropreneurs yang akan berjaya dan ini akan menjadi satu tarikan industri yang mampu memberikan pulangan yang baik, mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan serta penyertaan masyarakat terutamanya golongan belia di dalam mendepani persekitaran yang mencabar demi menyumbang ke arah peningkatan ekonomi negara yang kukuh dan berdaya saing secara keseluruhannya.

Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Dengan ini saya menyokong Belanjawan 2021.

final • 1:20 PM

Timbalan Yang di-Pertua - Dato' Mohd Rashid Hasnon

Terima kasih Yang Berhormat Betong. Sekarang saya jemput Yang Berhormat Lembah Pantai. Silakan, 10 minit.

final • 1:20 PM

Tuan Ahmad Fahmi bin Mohamed Fadzil - Lembah Pantai

Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Bismillahi Rahmani Rahim. Saya turut mengambil serta dalam perbahasan bagi Belanjawan 2021.

Pertama untuk memberikan konteks kepada realiti kita pada hari ini, norma baharu. Kalau Ahli-ahli Yang Berhormat teliti statistik data yang diterbitkan, hampir setiap hari secara keseluruhan kita boleh lihat empat per lima ataupun 80 peratus daripada kes positif COVID-19 telah berlaku daripada bulan Oktober 2020 dan bulan November 2020 sahaja. Maksudnya, dua bulan ini,

final • 1:21 PM

Tuan Ahmad Fahmi bin Mohamed Fadzil - Lembah Pantai

satu setengah bulan ini telah memberikan hampir 80 peratus daripada kes positif kita daripada bulan Februari hingga bulan Mac yang lalu.

Malangnya, 56 peratus daripada kematian telah berlaku di negeri Sabah iaitu seramai 181 orang daripada seramai 322 orang yang telah meninggal dunia. Kita lihat daripada lebih daripada 50,000 kes positif yang telah berlaku, sebanyak 50 peratus berlaku di negeri Sabah.

Akan tetapi, bila kita teliti belanjawan yang kita ada pada hari ini, sukar untuk kita lihat bagaimana rancangan yang telah diaturkan oleh kerajaan yang ada sekarang ini boleh membantu memastikan bukan sahaja isu COVID-19 ini keluknya dapat dilandaikan, malah bagaimana kita boleh in the first place, dengan izin, membenarkan tragedi ini berlaku di negeri Sabah.

Apa yang berlaku di negeri Sabah pada hari ini adalah tidak lain tidak bukan adalah satu tragedi kesihatan awam, public health tragedy. Akan tetapi, apakah yang dapat kita lakukan berpandukan kepada belanjawan ini? Saya tidak dapat lihat.

Kedua, kalau kita teliti belanjawan khususnya berkait dengan isu dana untuk Kementerian Kesihatan, memang benar pada awalnya ramai di kalangan Ahli-ahli Yang Berhormat membangkitkan bagaimana sejumlah dana itu kalau dulu diperuntukkan tetapi telah dimasukkan ke satu program khas. Namun, persoalan yang perlu dibangkitkan, adakah peratusan yang sebelum ini yang ditetapkan, ditentukan untuk setiap program ataupun jabatan dalam kementerian itu akan diteruskan ataupun adakah mereka terpaksa compete, dengan izin, ataupun bertarung dengan satu sama lain untuk mendapatkan dana tersebut?

Sebagai contoh, kalau kita lihat pada tahun 2020 bagi pediatrik, mereka mendapat 2.72 peratus daripada keseluruhan dana daripada bekalan. Akan tetapi, adakah jumlah itu akan diberikan secara automatik? Kita lihat, kalau pada tahun 2020, sebanyak RM1.45 bilion telah diperuntukkan untuk farmasi dan bekalan. Akan tetapi, sekarang ini kita dengar RM1.4 bilion. Maksudnya RM50 juta telah hilang. Jadi apakah yang akan berlaku? Saya pohon pihak kementerian, Yang Berhormat Menteri untuk memberikan pandangan tentang isu ini.

Saya juga terkesan kerana bila diumumkan oleh Yang Berhormat Menteri Kewangan bahawa elaun khas untuk frontliners hanya untuk petugas KKM. Apa jadi kepada mereka yang bukan daripada golongan KKM termasuk juga mereka yang merupakan pembersih, the cleaners, dengan izin, anggota polis? Mereka tidak dapat elaun tersebut. Jadi di sini saya tekankan, kita patut tarik balik dana untuk JASA untuk PeKT hampir RM100 juta, berikan kepada frontliners yang bukan daripada kalangan KKM. Saya sarankan perkara itu dibuat.

Kalau kita lihat isu yang― krisis yang kita hadapi sekarang ini patut melibatkan semua pihak. Malangnya, kami di Kuala Lumpur, sebagai contoh, tidak dilibatkan langsung. Sebagai contoh di kawasan Lembah Pantai, ramai yang bertanya dengan saya di peringkat awal bila berlaku PKP dahulu, “Kenapa Lembah Pantai sekarang telah menjadi zon merah?” Maklumat tidak sampai kepada Ahli Parlimen. Malah kemudian baru kita tahu, disebut Daerah Lembah Pantai tu merangkumi Parlimen Lembah Pantai, Seputeh dan Bukit Bintang.

Pada hari ini, kita lihat kalau dibandingkan kualiti maklumat yang disampaikan oleh CPRC dan MKN, malangnya bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, ia tidak selengkap ataupun tak terperinci sama negeri-negeri yang lain.

Kita lihat ada satu hari itu, hanya menunjukkan zon-zon dan semua zon jadi merah tetapi tidak ada berapa ramai yang telah sembuh, berapa ramai yang masih positif.

final • 1:21 PM

Tuan Ahmad Fahmi bin Mohamed Fadzil - Lembah Pantai

Ini kerana realitinya, Tuan Yang di-Pertua, berdekatan dengan kita ada satu Kluster Damanlela yang pada hari ini mempunyai sebanyak 1,300 lebih kes positif. Akan tetapi ia hanya berlaku di satu tapak binaan. Malangnya orang ramai tidak tahu, tidak faham dan mereka melihat Daerah Kepong dan Bukit Damansara zon merah. Ramai di kalangan kita yang tinggal atau ada rumah di Bukit Damansara, termasuk Yang Berhormat Pagoh. Jadi bolehkah kita berikan kepada Ahli-ahli Parlimen di Kuala Lumpur maklumat yang lebih lanjut, lebih terperinci, lebih teratur? Libatkan kami. Kami juga ingin bantu untuk memerangi COVID-19 termasuklah menyampaikan maklumat yang tepat kepada warga Kuala Lumpur.

Saya ingin menyentuh isu bagi Kementerian Komunikasi dan Multimedia. Kalau kita lihat isu JASA, ramai yang telah sebut. Saya pohon Yang Berhormat Menteri kewangan umumkan awal, tarik balik ataupun kurangkan ataupun hilangkan terus dana untuk JASA ataupun kita masukkan ke tempat- tempat yang lain seperti Yang Berhormat Segambut sebutkan tadi. Kalau diberikan RM85 juta yang sepatutnya untuk JASA ini kepada Zoo Negara, boleh tahan selama 85 bulan. Jadi, bukan satu jumlah yang kecil, tetapi kita pohon dipinda sekarang, barulah boleh kita pertimbangkan untuk sokong ataupun tidak.

Saya ingin bertanya kepada pihak kerajaan, khususnya Yang Berhormat Menteri Komunikasi, adakah beliau dan juga kerajaan akan teruskan Majlis Media? Tidak tentu lagi, tidak tahu. Ada rakan-rakan yang terlibat dalam Majlis Media berkata, daripada beri kepada propagandis seperti JASA dan PeKT, berilah sedikit kepada Majlis Media untuk dilakukan kerja-kerja bagi Majlis Media.

Untuk isu seni dan budaya, RM15 juta diperuntukkan untuk CENDANA.

Saya dalam isu ini, saya berpandangan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya sepatutnya mengambil dana RM15 juta ini dan salurkan melalui JKKN.

Tidak perlu di-outsource kepada satu badan yang berbeza yang asing, yang sebelum ini telah diaudit dan didapati beberapa kepincangan dalam pengurusan badan ini. Jadi, pulangkan dan RM15 juta itu boleh dimanfaatkan sepenuhnya.

Tidak perlu diguna untuk membayar untuk premis, untuk overhead dan sebagainya. Berikan sepenuhnya kepada para penggiat seni melalui JKKN.

Dalam isu pendidikan. Selain daripada krisis kesihatan awam, kita ada krisis pendidikan. Tidak boleh dinafikan sepanjang tahun ini, semua yang ada anak-anak yang pergi ke sekolah, dengan izin, this is not a gap year, this is a loss year in education. Ini bukanlah satu tahun lompat. Ini adalah satu tahun yang telah hilang bagi semua anak-anak kita dalam pembelajaran mereka.

Malangnya dalam belanjawan ini, saya tidak lihat imaginasi mahupun kesungguhan politik dan juga dana bagaimana kita ingin membuat satu anjakan yang besar untuk memastikan setahun yang hilang ini dapat anak-anak kita peroleh semula. Adakah anak-anak kita perlu tunggu sampai dua tiga hari sebelum 20 Januari bila sekolah buka balik baru mereka dimaklumkan, mereka kena repeat balik tahun yang sebelumnya?

final • 1:21 PM

Tuan Sim Tze Tzin - Bayan Baru

Yang Berhormat Lembah Pantai.

final • 1:30 PM

Tuan Ahmad Fahmi bin Mohamed Fadzil - Lembah Pantai

Mereka kena repeat balik tahun yang sebelumnya.

final • 1:30 PM

Tuan Sim Tze Tzin - Bayan Baru

Yang Berhormat Lembah Pantai.

final • 1:30 PM

Tuan Ahmad Fahmi bin Mohamed Fadzil - Lembah Pantai

Ya, ya.

final • 1:30 PM

Tuan Sim Tze Tzin - Bayan Baru

Boleh mencelah sedikit? Saya hendak tanya pandangan Yang Berhormat Lembah Pantai tentang education.

final • 1:30 PM

Tuan Sim Tze Tzin - Bayan Baru

Di negara-negara lain seperti Europe dan juga Amerika Syarikat, they make a policy, the last things to close is the school. Akan tetapi di Malaysia ini, kita close the school first. Kita tahu bahawa daripada Profesor Adibah, sejumlah 87 peratus contaction of COVID-19 adalah di rumah, bukan di sekolah. Jadi, apakah pandangan? Adakah polisi close the school first itu betulkah atau tidak?

Mohon penjelasan.

final • 1:30 PM

Tuan Ahmad Fahmi bin Mohamed Fadzil - Lembah Pantai

Saya rasa saya setuju dengan soalan dan saya masukkan sebahagian daripada ucapan saya. Yang Berhormat Menteri Pendidikan perlu jawab. Kita lihat beliau antara Yang Berhormat Menteri Pendidikan yang bagi saya hilang dan langsung tidak nampak. Ibu bapa kena tunggu. Bayangkan ibu bapa marah apabila sehari dua, tiba-tiba tutup semua sekolah. Tutup sehingga hujung tahun. This is not responsible. Ini bukan satu tindakan yang bertanggungjawab. Sepatutnya beliau berikan – Give us your vision! Tak ada vision. Mana Yang Berhormat Menteri Pendidikan? Hilang. Sudahlah ada dua orang Timbalan Menteri. Please do something. Jadi saya ada beberapa perkara lain. Saya tidak setuju ...

final • 1:30 PM

Timbalan Yang di-Pertua, Dato’ Mohd Rashid Hasnon

Yang Berhormat Lembah Pantai, minta rumuskan.

final • 1:30 PM

Tuan Ahmad Fahmi bin Mohamed Fadzil - Lembah Pantai

Baik.

Saya tidak setuju dikurangkan emolumen bagi anggota polis sebanyak RM124 juta. Kembalikan sejumlah RM124 juta ini kepada anggota polis, kepada PDRM dan tambahkan juga elaun untuk frontliners dalam kalangan PDRM. Juga selesaikan masalah rumah yang mereka hadapi. Saya pohon pihak kerajaan untuk maklumkan.

Akhir sekali, tentang Parlimen dan isu keabsahan yang telah dibangkitkan beberapa orang sahabat tadi. Akan tetapi, isunya hari ini Tuan Yang di-Pertua, kita telah belanjakan begitu banyak untuk pasang pengadang, untuk buat test RT-PCR setiap dua minggu, termasuk juga dengan pegawai pengiring. Akan tetapi apa yang kita lihat hari ini, waktu persidangan dipendekkan, soalan tambahan dibuang, soalan Waktu Pertanyaan Menteri dipendekkan, jadi apa fungsinya Parlimen pada hari ini? Saya ingin mendengar komitmen daripada pihak kerajaan. Jangan lakukan sesuatu sehingga apa yang berlaku untuk mengelakkan pengundian – di Batu Sapi diumumkan semalam satu darurat. Jangan pula kita apa-apakan pada 26 November bila kita perlu mengundi untuk belanjawan ini. Sekian, terima kasih.

final • 1:30 PM

Timbalan Yang di-Pertua, Dato’ Mohd Rashid Hasnon

Terima kasih Yang Berhormat Lembah Pantai. Sekarang saya jemput Yang Berhormat Baling.

final • 1:30 PM

Datuk Seri Panglima Abdul Azeez bin Abdul Rahim - Baling

Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Bismillahir Rahmanir Rahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam sejahtera, salam perpaduan.

Pertama sekali, izinkan saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak Kerajaan Perikatan Nasional serta semua pegawai perkhidmatan awam yang telah bertungkus-lumus dalam memastikan kelangsungan serta kesempurnaan Bajet 2021 kali ini. Ia bajet yang terbesar dalam sejarah iaitu melibatkan perbelanjaan sebanyak RM322.5 bilion dan adalah sesuatu yang sangat perlu memandangkan negara ini sedang berhadapan dengan satu peperangan yang luar biasa ke atas kesihatan dan norma baharu kehidupan masyarakat keseluruhannya.

final • 1:32 PM

Datuk Seri Panglima Abdul Azeez bin Abdul Rahim - Baling

Kita terpaksa berhadapan dengan satu keadaan yang amat sukar kerana bukan negara kita sahaja malah seluruh dunia tidak ada pengalaman langsung menghadapi krisis pandemik COVID-19 ini. Dengan hasil yang mungkin menguncup serta perbelanjaan yang semakin membesar. Kita seharusnya meletakkan penarafan (rating) sebagai perkara kedua dan meletakkan kebajikan serta kesihatan rakyat sebagai keutamaan.

Saya ingin mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga sekali lagi kepada pihak kerajaan melalui Kementerian Kewangan yang telah berbincang dengan pihak KWSP yang telah mengubah keputusan awal berkaitan pengeluaran wang pencarum seperti yang diumumkan baru-baru ini dengan kaedah-kaedah yang baharu. Di sini, saya juga berharap agar adanya penambahbaikan daripada semasa ke semasa mengikut tuntutan dan keperluan pencarum. Tolong, jangan abaikan hal ini. Ini adalah amat penting untuk seramai 14.7 orang juta rakyat yang kita sayangi.

Saya tertarik dengan beberapa cadangan yang dibuat oleh Yang Berhormat Pekan bagi memastikan simpanan pencarum masih bertahan selepas pengeluaran pukal yang mana kita sedar jumlahnya yang amat besar yang bakal dikeluarkan untuk rakyat. Oleh itu, kita mencadangkan agar KWSP diberikan projek mega kerajaan yang strategik dalam dan luar negara. Ini kerana KWSP adalah satu-satunya institusi yang tertua dalam dunia, dilahirkan lebih 69 tahun yang lalu, dengan modal berbayar hanya dengan RM15 juta dan kini KWSP telah dinilai hampir RM938 bilion. Ini dengan jelas membuktikan bahawa KWSP telah berjaya melaksanakan tanggungjawab yang luar biasa dalam hal ehwal ekonomi serta perniagaan dalam dan luar negara. Terima kasih kepada seluruh pengurusan dan kakitangan KWSP dari zaman ia dilahirkan sehingga ke hari ini yang cekap dan penuh dengan integriti. Justeru, saya merayu untuk kerajaan menimbangkan agar projek-projek mega ini diberikan kepada KWSP demi kelangsungan menjaga, membantu masa depan hari tua rakyat kita yang saya sebutkan tadi seramai 14.7 juta orang.

Saya juga mencadangkan agar KWSP memperkenalkan dividen pelbagai peringkat (multitier dividend), dengan izin. Dengan erti kata lain, KWSP akan memberikan peratusan dividen yang lebih tinggi dan kompetitif kepada pencarum yang memiliki simpanan yang rendah. Ini sebenarnya adalah antara jihad kecil yang telah kami laksanakan ketika saya memimpin Tabung Haji di antara tahun 2013 hingga 2018.

Ketika itu kami memperkenalkan hibah tambahan atau hibah dividen khas bagi penyimpan yang belum menunaikan fardu haji dengan memiliki simpanan kurang RM9,980. Semua ini telah kami lakukan dengan pengurusan tertinggi bagi memastikan semua pendeposit yang kurang berkemampuan dapat mencukupkan simpanan dengan lebih cepat untuk melaksanakan tuntutan rukun Islam yang kelima. Malangnya, apabila Pakatan Harapan mengambil alih pemerintahan negara, dividen khas yang menguntungkan pendeposit miskin ini telah dihapuskan. Malah, sehingga kini polisi-polisi Tabung Haji yang dimulakan oleh Pakatan Harapan masih lagi diteruskan kerana lantikan mereka masih terus dan kekal.

Begitu juga dengan saranan agar KWSP melaksanakan pelaburan menguntungkan termasuk memiliki sebahagian daripada sektor strategik.

Contohnya dahulu KWSP adalah pemegang saham utama Hartalega Holdings Berhad iaitu salah sebuah pengeluar kilang sarung tangan terbesar dalam negara. Malangnya, polisi penjualan aset yang telah diamalkan oleh Kerajaan Pakatan Harapan secara rakusnya telah menyebabkan KWSP melepaskan sebahagian saham milik mereka dalam syarikat tersebut pada akhir bulan Januari 2020. Hari ini, market capped Hartalega adalah sekitar RM60 bilion iaitu syarikat yang keempat terbesar dalam Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL).

Bayangkan betapa besarnya lompong kerugian negara disebabkan polisi ekonomi merugikan yang diamalkan pada zaman Pakatan Harapan.

final • 1:32 PM

Datuk Seri Panglima Abdul Azeez bin Abdul Rahim - Baling

Saya bimbang perkara ini berulang kembali pada zaman Perikatan Nasional. Aset-aset strategik negara terutamanya milik utama Islam seperti y telah saya bangkitkan dalam persidangan Dewan Rakyat yang lalu iaitu penjualan ladang milik Tabung Haji Plantations di negeri Sarawak kepada syarikat Tamaco di bawah harga pasaran. Harganya terlalu murah akan menjadi kenyataan. Ini kerana, saya dimaklumkan dalam masa terdekat ini pihak Tabung Haji Plantations akan meneruskan penjualan aset kepada pihak Tamaco. Malah apa yang saya dengar, penjualan tersebut diperluaskan lagi. Saya pohon kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Yang Berhormat Menteri Kewangan, Yang Berhormat Menteri Ekonomi, tolong masuk campur tangan dan menilai kembali perancangan penjualan lebih sejumlah 76 peratus ladang- ladang milik Tabung Haji tersebut. Hentikan penjualan-penjualan ini memandangkan harga minyak sawit mentah kini berada pada paras tertinggi iaitu sebanyak RM3,300 satu tan.

Saya fikir kita simpanlah tanah-tanah ini memandangkan kita hendak pandang ke Borneo. Kita hendak memperkasakan negeri Sabah dan Sarawak, apatah lagi pusat bandar raya Jakarta yang mana akan dipindahkan ke Kalimantan. Ini sekali gus akan memberikan manfaat besar dalam sudut ekonomi jangka masa panjang buat Tabung Haji keseluruhannya. Malah jalan Pan Borneo pun sudah sampai ke tanah tersebut. Macam-macam kita boleh buat. Tengok apa yang berlaku kepada Sime Darby, Golden Hope dan sebagainya. Tanah-tanah ini mereka bangunkan akhirnya mereka berjaya menjadi syarikat gergasi yang kaya raya.

Kita telah diberikan amanah oleh Allah SWT untuk menjaga harta negara dan harta umat Islam. Tidak kiralah kita ini Yang Berhormat Menteri kah, ulama’ kah, ahli ekonomi kah, kita semua dipertanggungjawabkan kelak di hadapan Allah SWT jika kita tidak mampu mempertahankan walaupun seinci tanah umat Islam. Maka, gagallah kita di sisi Allah SWT, nau’uzubillahiminzalik.

final • 1:32 PM

Datuk Seri Panglima Abdul Azeez bin Abdul Rahim - Baling

Tuan Yang di-Pertua, saya juga bersetuju dengan keluhan rakyat bahawa wajar memberikan pertimbangan khas pandemik COVID-19 dengan memberikan moratorium wajib selama enam bulan secara pukal kepada semua peminjam yang benar-benar layak dan memerlukan sahaja. Dalam erti kata yang lain, secara bersasar. Oleh kerana Tuan Yang di-Pertua, ada juga syarikat- syarikat GLC, syarikat-syarikat korporat besar, kecil, yang untung, yang hendakkan juga moratorium. Justeru, kita perlu benar-benar, kita pastikan mereka memerlukan. Malahan, rekod menunjukkan bahawa semua bank yang terlibat yang memberikan moratorium wajib pada suku tahun kedua ini masih lagi mencatatkan keuntungan, ia tidak rugi, untung kurang. Inilah saya hendak beritahu, mereka patut teruskan moratorium ini yang seperti yang telah kita minta. Moratorium bukanlah satu konsep dari barat tetapi ia diajar dalam Al- Quran sejak 1,400 tahun yang lalu. Maha suci Allah telah menurunkan kitab Nya, ini sebagai penyelesaian masalah manusia. Sesungguhnya Allah telah berfirman di dalam surah Al-Baqarah, ayat 280 maksudnya, “Dan jika orang yang berhutang itu sudah mengalami kesempitan, maka berilah tempoh sehingga ia lapang hidupnya” Selain daripada moratorium bank, kerajaan, kawan-kawan semua sudah sebut, kerajaan juga harus mewujudkan jawatankuasa kecil, teliti, memberikan kelulusan khas kepada peminjam-peminjam SME, Amanah Ikhtiar, TEKUN dan lain-lain. Contohnya, Amanah Ikhtiar ada 304,000 orang peminjam aktif dan bayaran semula selama ini sudah mencecah sehingga 98.7 peratus.

Ini sebenarnya membuktikan kesungguhan Bumiputera wanita khususnya, meminjam duit, bayar, malah kalah dengan bank, kalau bank pun ada delinquent account tiga peratus, ini lebih murah daripada bank.

final • 1:40 PM

Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Mohd Rashid Hasnon

Ada 50 saat lagi.

final • 1:40 PM

Datuk Seri Panglima Abdul Azeez bin Abdul Rahim - Baling

Yang Berhormat Bagan Datuk telah menyatakan tadi bahawa khas peminjam- peminjam syarikat credit leasing yang pinjam untuk bas, van dan sebagainya.

Di kawasan saya, anak-anak muda yang buat Grab naik motosikal pergi pinjam duit, selepas itu apabila dikatakan moratorium, Perdana Menteri umum, Menteri Kewangan umum, mereka ingat dia pun ada moratorium, last sekali motor kena tarik. Apabila kena tarik, dengan hendak hantar makanan dekat orang, dengan makanannya pun kena tarik. Oleh kerana apa? Oleh kerana syarikat-syarikat credit leasing tidak di bawah kelolaan Bank Negara dan juga Kementerian Kewangan. Saya hendak mengesyorkan kepada kerajaan di bawah Kementerian Kewangan, kalau boleh cepatkan, laksanakan, kita hendak buat, bawa rang undang-undang ini untuk kita luluskan, diletakkan di bawah Bank Negara dan MOF untuk diselenggarakan. Jadi, saya harap ini dapat dilakukan.

Tuan Yang di-Pertua, satu lagi saya hendak menyatakan berkaitan dengan Agensi Kaunseling Pengurusan Kredit (AKPK). Ini juga harus diberikan mandat 100 peratus kuasa untuk mereka bincang, atur untuk mengesyorkan kepada pihak bank bagaimana mereka dapat membantu rakyat kita yang benar- benar susah. Tuan Yang di-Pertua, saya hendak menyatakan kepada Tuan Yang di-Pertua. Hari ini saya hendak beri satu perkara yang penting selain dari rumah PPR, PPRT semua ini, saya tahu semua sudah buat, kerajaan akan pastikan. Bantuan musim tengkujuh, rakyat Baling tanya saya, dia kata ‘tak dak pun Menteri umum’. Akan tetapi saya selak-selak buku, ada. Saya minta Menteri Kewangan umumkan bila mereka hendak gulung nanti, umumkan dapat banyak mana. Kalau boleh bulan 12 ini kita hendak minta tolong bagi. Kalau boleh naikkanlah sedikit sehingga RM300 pun tidak apa, tidak rugi kerana mereka ini penoreh-penoreh getah.

Jadi, saya hendak beritahu satu lagi Tuan Yang di-Pertua, saya juga ingin mengesyorkan satu perkara yang penting, yang ini tidak ramai kawan bawa, saya hendak bawa. Saya hendak mencadangkan agar kerajaan menimbangkan dana bantuan khas diperluaskan kepada penghantar- penghantar makanan berdaftar seperti GrabFood, FoodPanda, Tapau, Lalamove dan syarikat-syarikat lain yang telah berdaftar online. Memudahkan rakyat melalukan pembelian harian tanpa keluar rumah masing-masing demi melaksanakan penjarakan sosial. Oleh kerana mereka juga di antara penyumbang besar kepada usaha kerajaan untuk mengawal penyebaran pandemik COVID-19. Sedar atau tidak, mereka ini juga di antara frontliners yang membantu kerajaan dalam melaksanakan SOP, MCO, PKP, PKPB yang mendedahkan diri mereka dalam risiko COVID-19 ini.

Tuan Yang di-Pertua, saya hendak menyatakan banyak lagi cerita tetapi memandangkan saya faham, saya akur. Saya keluar dari hospital. Saya duduk hospital on drip. Saya datang ini demi kelangsungan, kesejahteraan rakyat dan hendak menyokong bajet pada hari ini. Jadi, bagi saya sedikit sahaja ruang, saya habiskan.

final • 1:40 PM

Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Mohd Rashid Hasnon

Rumuskan.

Minta rumuskan.

final • 1:40 PM

Datuk Seri Panglima Abdul Azeez bin Abdul Rahim - Baling

Tuan Yang di-Pertua, saya hendak beritahu ini berkaitan dengan apa yang sedang berlaku pada hari ini.

final • 1:40 PM

Dato’ Ngeh Koo Ham - Beruas

Tuan Yang di-Pertua,...

final • 1:40 PM

Datuk Seri Panglima Abdul Azeez bin Abdul Rahim - Baling

Kita tidak mahu menyalahkan sesiapa.

final • 1:40 PM

Dato’ Ngeh Koo Ham - Beruas

...kerana bagi peluang kepada yang lain...

final • 1:40 PM

Datuk Seri Panglima Abdul Azeez bin Abdul Rahim - Baling

Kita hendak menyokong kerajaan.

final • 1:40 PM

Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Mohd Rashid Hasnon

Tidak, saya tidak bagi peluang. Saya minta dirumuskan.

final • 1:40 PM

Datuk Seri Panglima Abdul Azeez bin Abdul Rahim - Baling

Saya minta...

final • 1:40 PM

Dato’ Ngeh Koo Ham - Beruas

Beruas pun mahu berucap.

final • 1:40 PM

Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Mohd Rashid Hasnon

Boleh mencelah nanti.

final • 1:40 PM

Datuk Seri Panglima Abdul Azeez bin Abdul Rahim - Baling

Saya akan minta kepada semua– saya ingin menarik perhatian kepada laporan akhbar. Tuan Yang di-Pertua, hari ini kalau kita tengok COVID-19, meninggal dunia hari ini 322 kes. Hari ini, setakat semalam. Hari ini belum dapat laporan lagi. Akan tetapi Tuan Yang di-Pertua, 266 orang membunuh diri. Di antaranya, hampir 25 peratus bunuh diri kerana masalah kewangan, keluarga dan sebagainya. Jadi, ini adalah satu masalah yang besar yang kerajaan sedang berusaha. Jadi, saya berharap rakyat faham, kerajaan sedang berusaha. Saya minta kerajaan hari ini tanpa mengira kerajaan kah, pembangkang kah– semasa kami dahulu menjadi pembangkang Tuan Yang di-Pertua, masa itu kami ditekan, dihina, dikata pencuri, penyamun, perompak dan sebagainya, semua dihina. Akan tetapi dua tahun berturut-turut kami menyokong bajet Pakatan Harapan waktu dan ketika itu.

Jadi, saya hendak mengajak demi kelangsungan, kesejahteraan rakyat seluruh negara, saya minta, saya pohon Pakatan Harapan, pembangkang, tak pembangkang, kerajaan, tak kerajaan, semua duduk satu meja untuk kelangsungan, kesejahteraan rakyat, ayuh mari kita ketepikan pandangan, kita sokong bajet ini untuk memastikan kelangsungan demi menjaga kesihatan rakyat yang norma baru, yang tidak pernah dalam sejarah berlaku perkara pandemik COVID-19 ini.

final • 1:40 PM

Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Mohd Rashid Hasnon

Terima kasih.

final • 1:40 PM

Datuk Seri Panglima Abdul Azeez bin Abdul Rahim - Baling

Jadi sekali lagi Tuan Yang di-Pertua, saya tidak kesampaian hajat saya tetapi insya- Allah kalau diberi masa yang akan datang, saya akan sampaikan lagi perkara- perkara yang saya hendak sampaikan lagi. Terima kasih. Baling mohon menyokong Bajet 2021. Wabillaahi taufik walhidayah, wassalamu’alaikum warahmatullaahi wabarakatuh.

final • 1:40 PM

Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Mohd Rashid Hasnon

Terima kasih Yang Berhormat Baling. Sekarang saya jemput Yang Berhormat Kubang Pasu.

final • 1:40 PM

Dato’ Wira Haji Amiruddin bin Haji Hamzah - Kubang Pasu

Bismillaahir Rahmaanir Rahiim. Assalamualaikum warahmatullaahi wabarakaatuh dan salam sejahtera. Tuan Yang di-Pertua, saya mulakan perbahasan hari ini dengan ucapan terima kasih atas peruntukan yang akan diberikan kepada sebuah loji rawatan air yang baru di kawasan saya di Kubang Pasu bagi merancakkan pembangunan ekonomi di sana. Melalui penyediaan infrastruktur air ini, lebih banyak pelaburan akan masuk ke kawasan berkenaan

final • 1:47 PM

Dato’ Wira Haji Amiruddin bin Haji Hamzah - Kubang Pasu

iaitu Kota Perdana dalam special border economic zone, sekali gus mewujudkan peluang pekerjaan dan aliran aktiviti ekonomi lain kepada penduduk setempat.

Tuan Yang di-Pertua, firman Allah SWT dalam Surah Yusuf, ayat 47 hingga 49 secara jelas telah memberi panduan kepada manusia mengenai pengurusan kewangan negara yang baik. Melalui ayat tersebut, kita boleh mengambil iktibar daripada tafsir dan tadbir Nabi Yusuf a.s ke atas mimpi raja yang melihat tujuh ekor lembu yang gemuk dimakan oleh tujuh ekor lembu yang kurus dan tujuh tangkai biji-bijian yang hijau serta tujuh tangkai lagi yang kering kontang. Maka, Nabi Yusuf telah menasihati rakyat Mesir agar bercucuk tanam bersungguh-sungguh tujuh tahun berturut-turut, kemudian apa yang kamu tuai, biarkanlah ia pada tangkai-tangkainya kecuali sedikit daripada bahagian yang kamu jadikan untuk makan. Kemudian akan datang selepas itu tujuh tahun kemarau yang besar yang akan menghabiskan makanan yang kamu sediakan baginya kecuali sedikit dari apa yang kamu simpan untuk dijadikan benih.

Adakah kita mengambil iktibar daripada kisah Nabi Yusuf a.s ini? Tentu sekali tidak. Sejak berakhirnya krisis kewangan global 2008-2009, kita mencatatkan pertumbuhan yang positif dengan purata pertumbuhan 5.4 peratus dari tahun 2010 hingga 2018. Dalam tahun berkenaan, kita mampu untuk membina kekuatan ekonomi bagi menghadapi kitaran krisis ekonomi. Namun, ia tidak berlaku. Banyak ketirisan dan skandal-skandal kewangan berlaku yang akhirnya beban kewangan terpaksa ditanggung sehingga puluhan tahun yang akan datang.

Lebih memburukkan, kerajaan ketika itu juga tidak telus dalam laporan kewangan, malah disembunyikan melalui terma contingent liability, dengan izin, sedangkan komitmen berkenaan perlu dibayar oleh kerajaan. Oleh sebab itu, apabila kita dilanda krisis seperti hari ini, kita tidak lagi mempunyai ruang fiskal yang mencukupi untuk menyediakan langkah rangsangan ekonomi dalam membantu rakyat dan menyelamatkan sektor perniagaan, terutamanya SME.

Tanpa ruang fiskal yang kukuh, sebarang tindakan kerajaan untuk beralih kepada instrumen hutang akan mengundang kejatuhan penarafan dan akan memberi kesan kepada ekonomi dan persekitaran perniagaan.

final • 1:47 PM

Dato’ Wira Haji Amiruddin bin Haji Hamzah - Kubang Pasu

Tuan Yang di-Pertua, semasa Kerajaan Pakatan Harapan pimpinan Yang Berhormat Langkawi mengambil alih tampuk pemerintahan, kita telah membuat bedah siasat ke atas kewangan kerajaan. Sebelum Mei 2018, berapa ramai kah antara kita yang tahu bahawa kerajaan perlu menanggung beban hutang sehingga RM42 bilion berkaitan dengan 1MDB. Dengan bayaran faedah yang telah dibayar berjumlah sehingga RM15 bilion. Jumlah ini tentunya sekiranya ada, boleh kita gunakan untuk membiayai pakej rangsangan untuk membantu rakyat tanpa menambah beban hutang kerajaan.

Ini juga tidak mengambil kira komitmen Projek Kerjasama Awam Swasta

(PPP) oleh kerajaan. Projek yang dilaksanakan secara Kerjasama Awam Swasta ini pada asasnya dapat membantu kerajaan melaksanakan projek dan program tertentu dengan baik mengambil kira kepakaran yang dimiliki oleh pihak swasta. Namun, bagi negara kita projek PPP ini dilihat banyak merugikan kewangan kerajaan dan memberi manfaat kepada pihak tertentu sahaja.

Justeru, saya mohon pihak kerajaan dapat memberikan perincian projek PPP yang diluluskan serta jumlah yang melibatkan komitmen kerajaan.

Tuan Yang di-Pertua, dalam mendepani cabaran krisis kesihatan dan ekonomi secara serentak, maka satu norma baharu perlulah dipraktikkan oleh semua lapisan rakyat. Namun, norma baharu ini bukan sahaja melibatkan aktiviti harian kita, malah dalam perancangan dasar dan kewangan kerajaan. Oleh itu, kita menjangkakan Belanjawan 2021 menumpukan kepada usaha membantu rakyat, selain mendukung persekitaran perniagaan dalam sektor yang terjejas

final • 1:50 PM

Dato’ Wira Haji Amiruddin bin Haji Hamzah - Kubang Pasu

teruk akibat PKP. Fokus harus diberikan untuk mencipta sebanyak mungkin peluang pekerjaan baharu. Namun, Belanjawan 2021 tidaklah seperti yang kita harapkan. Ini kerana terdapat banyak peruntukan yang diberikan kepada program-program yang disifatkan tidak diperlukan buat masa ini.

Contohnya, sebanyak RM85 juta kepada JASA, malah terdapat bantuan-bantuan kepada sektor yang memerlukan dipotong oleh kerajaan seperti peruntukan rumah pesakit melarat dikurangkan daripada RM13 juta kepada hanya RM3 juta. Pembaikan dan pembesaran institut kebajikan sedia ada dari RM68.8 juta dikurangkan kepada RM5 juta. Akan tetapi, bangunan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di Putrajaya, iaitu antara bangunan kementerian yang paling baru disiapkan diberikan peruntukan naik taraf sebanyak RM63.9 juta.

Saya berpendapat, dalam situasi krisis seperti ini, apakah perlu kerajaan meneruskan projek-projek mega seperti MRT dan HSR? Kita tidak menolak pembangunan sistem pengangkutan yang memudahkan pergerakan rakyat. Akan tetapi, apa yang perlu kita persoalkan adalah aulawiat ataupun keutamaan dan keperluan untuk melaksanakan dalam situasi sebegini dengan kenaikan jumlah hutang bagi membiayai pakej rangsangan selain dana boleh disalurkan bagi kemaslahatan rakyat dan ekonomi.

Mengapakah kita perlu meneruskan projek mega yang hanya memanfaatkan syarikat-syarikat asing? Bukankah peruntukan mega ini boleh kita agihkan ke seluruh negara bagi membina infrastruktur kecil luar bandar termasuk menyelesaikan sekali gus pembaikan sekolah-sekolah daif seluruh negara. Ia akan melibatkan kontraktor-kontraktor kecil G1, G2 dan G3 dan kesan limpahannya dapat dirasai oleh lebih ramai penduduk dalam negara kita.

Tuan Yang di-Pertua, dalam situasi di mana ramai diberhentikan kerja, dipotong gaji atau diminta untuk bercuti tanpa gaji, mereka beralih kepada menjalankan perniagaan kecil-kecilan dan memerlukan modal. Justeru, adalah wajar peruntukan khusus secara pemberian langsung dengan jumlah yang besar yang mencukupi disediakan kepada mereka yang ingin memulakan perniagaan ini.

Peruntukan ini boleh disalurkan kepada agensi kerajaan yang dekat dengan rakyat seperti TEKUN dan Amanah Ikhtiar. Kita tidak lagi mahu mendengar rungutan rakyat di bawah, apabila kami memohon, kami diberitahu bahawa permohonan ditutup kerana dana yang disediakan sudah kehabisan.

Kita juga dimaklumkan dalam masa yang sama, PKS kita terhimpit dengan keadaan ekonomi semasa. Bahkan ada institusi perbankan kita yang memberi pinjaman modal pusingan dengan mengenakan kadar faedah antara 9.5 peratus hingga 10.5 peratus, walhal OPR semasa hanyalah 1.75 peratus.

Kerajaan dan Bank Negara Malaysia sepatutnya memantau perkara ini agar PKS kita tidak terus terbeban dengan kadar faedah pinjaman yang tinggi.

Tuan Yang di-Pertua, Malaysia mempunyai 907,000 buah syarikat di bawah kategori PKS. Mengikut laporan, lebih 100,000 buah syarikat dan lebih banyak lagi yang akan gulung tikar akibat krisis ini. Belanjawan memperuntukkan pelbagai pinjaman kepada SME. Saya mencadangkan, supaya kerajaan menyediakan peruntukan untuk membiayai faedah pinjaman tersebut dan memberi pinjaman tanpa faedah dan seelok-eloknya kadar OPR juga harus di-revise. Saya juga mencadangkan supaya jaminan kerajaan untuk pinjaman yang dipohon oleh SME juga tidak dikenakan sebarang caj.

Tuan Yang di-Pertua, sementara negara jiran kita dipimpin oleh Presiden Joko Widodo telah mengetuai Program Omnibus untuk menarik pelaburan Tesla dari Amerika Syarikat dan membuat undang-undang cipta kerja yang baharu untuk menarik FDI. Singapura yang berjaya menarik pelaburan USD294 juta dari syarikat Hyundai untuk ekosistem kenderaan elektrik. Saya

final • 1:50 PM

Dato’ Wira Haji Amiruddin bin Haji Hamzah - Kubang Pasu

mohon penjelasan MITI, apakah inisiatif yang diambil oleh kerajaan dalam menarik pelaburan luar untuk menjana peluang pekerjaan untuk rakyat tempatan.

final • 1:50 PM

Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Mohd Rashid Hasnon

37 saat lagi, minta rumuskan.

final • 1:50 PM

Dato’ Wira Haji Amiruddin bin Haji Hamzah - Kubang Pasu

Tuan Yang di-Pertua, memandangkan gelombang COVID-19 ini masih di luar kawalan dan semakin meningkat, maka apakah perancangan alternatif aktiviti worse case scenario yang tidak kita jangka ini? Jika COVID-19 berlanjutan dan vaksin masih tidak ada pada tahun 2021, adakah sempadan kita masih terus ditutup dan beberapa sektor yang terjejas seperti pelancongan akan terus terkubur? Apakah tindakan dan langkah yang disediakan untuk ekosistem sektor pelancongan? Kita tidak boleh menunggu dan mengharapkan perubahan, kita perlu berinovasi mencuba teknik pelancongan baru seperti travel bubble dengan negara-negara yang mempunyai kes COVID-19 yang terkawal seperti Singapura, Korea Selatan dan Thailand. Kita boleh mula dengan Langkawi sebagai kawasan ujian.

Saya juga ingin mohon untuk memperuntukkan belanjawan yang lebih besar untuk mass testing iaitu ujian besar-besaran yang lebih kerap seperti saranan Yang Berhormat Langkawi. Umum sedia maklum, kesan ekonomi dari PKP adalah sangat teruk. Cara alternatif adalah untuk memperkenalkan PKPD di lokasi bersasar mikro dengan peruntukan ujian antigen rapid test kit ini membolehkan pihak berkuasa mengenal pasti mereka yang positif dengan lebih pantas untuk dikuarantin dari komuniti. Ini membolehkan kehidupan mereka yang tidak dijangkiti boleh diteruskan seperti mana biasa.

Tuan Yang di-Pertua, akhirnya saya ingin menyebutkan di sini bahawa perhatian Dewan tentang rungutan yang sering saya terima daripada pesawah- pesawah dalam kawasan saya. Iaitu tanaman padi yang mereka sering usahakan mengalami kerosakan akibat bencana alam seperti banjir. Setiap kali musibah berlaku, pihak berwajib akan datang membuat bancian dan menjanjikan pampasan dan ganti rugi dari pihak kerajaan, namun sehingga kini pampasan yang dijanjikan tidak kunjung tiba.

Saya mohon pihak kerajaan melihat kes ini dan berilah pertolongan sewajarnya kerana kebanyakan mereka hanya bergantung harap kepada usaha tanaman ini. Saya ingin mendapat pengesahan tuntas dari Tuan Yang di-Pertua bahawa pada 26 November 2020 ini nanti semua 220 Ahli Parlimen dibenarkan hadir di dalam Dewan ini untuk mengundi kecuali ada yang balik ke Sabah yang perlu menjalani kuarantin selama 14 hari supaya dapat kita menjalankan undian secara baik.

Tuan Yang di-Pertua, sekian sahaja perbahasan saya dan saya sekali lagi menekankan di sini sokongan hanya akan kita berikan apabila pindaan- pindaan dan cadangan-cadangan yang kita berikan dipenuhi oleh pihak kerajaan. Sekian, Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

final • 1:50 PM

Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Mohd Rashid Hasnon

Terima kasih Yang Berhormat Kubang Pasu. Sekarang kepada pembahas terakhir, saya jemput Yang Berhormat Arau. Kalau diikut masa memang patut kita berhenti tepat pukul 2.00 petang. Saya maksimumkan kelonggaran yang Speaker boleh last 15 minute. Maknanya boleh teruskan sehingga 2.15 petang. Dipersilakan Yang Berhormat Arau.

final • 1:50 PM

Dato’ Seri Dr. Shahidan bin Kassim - Arau

Bismillahir Rahmani Rahim, Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Pertama sekali saya

final • 1:59 PM

Dato’ Seri Dr. Shahidan bin Kassim - Arau

ingin menyatakan rasa nubari asma ramah pihak PNBBC bahawa kita menyokong bajet ini dengan hebatnya.

final • 1:59 PM

Dato’ Seri Dr. Shahidan bin Kassim - Arau

Juga ucap tahniah kepada Menteri Kewangan yang telah mempamerkan satu bajet untuk menangani masalah negara dijangka hadapi pada tahun hadapan. Kita lihat bajet yang dipamerkan telah memberi pendekatan yang menyeluruh kepada semua pihak. Saya telah menyediakan ucapan 50 paragraph dan 19 cadangan untuk dikemukakan secara lisan dan juga bertulis.

Oleh kerana benda ini tidak dapat disampaikan secara lisan, maka saya sampaikan secara bertulis. Akan tetapi sebahagian daripada perkara tersebut saya ingin sebutkan di sini. Pertama, meminta agar tempoh perlanjutan moratorium untuk tempoh sehingga bulan Jun tahun hadapan disegerakan pengumumannya. Kita tahu telah diumumkan dari semasa ke semasa tetapi kita hendak diumumkan secara rasmi supaya tempoh moratorium sampai bulan Jun tahun hadapan. Ianya mesti melibatkan semua pihak yang memberi pinjaman ataupun sewaan. Kedua, termasuklah syarikat kredit dan juga leasing.

Keduanya diminta agar pengeluaran RM10,000 secara pukal daripada Akaun 1 KWSP kepada semua pencarum. Ini telah pun diumumkan oleh pihak KWSP dan kita ucap terima kasih. Ini merupakan satu petanda yang baik yang diperjuangkan oleh pihak BN dan juga PN dan nikmatnya dinikmati bersama oleh semua pihak rakyat Malaysia, pihak pembangkang dan juga pihak kerajaan termasuk netizen yang sedang mendengar ucapan ini dengan hebatnya.

Ketiganya, minta agar pengumuman berkaitan hasil kajian penebusan awal Gantian Curi Rehat (GCR) sebanyak 75 hari untuk ganjaran wang tunai yang diumumkan pada pembentangan Bajet/Belanjawan 2020 disegerakan. Ini bagi memastikan kakitangan awam terus dijamin di bawah pentadbiran Perikatan Nasional memandangkan Kerajaan PH telah bertindak memansuhkan GCR 150 hari sebelum ini kepada 75 hari GCR, 55 hari.

Keempat, menyediakan peruntukan khas bantuan one-off kepada mahasiswa. Kelima, meminta agar kad diskaun siswa yang disekalikan dengan baucar buku bagi kegunaan pelajar yang telah dilaksanakan sewaktu pentadbiran Barisan Nasional dahulu tetapi telah dimansuhkan oleh PH tetapi dikembalikan pula oleh Kerajaan Perikatan Nasional bagi meringankan beban pelajar.

Keenam, insentif one-off kepada pelajar IPTA penginapan luar kampus bagi menampung kos sewaan penginapan. Ketujuh, mengembalikan inisiatif diskaun 10 peratus bayaran balik yang dibuat menerusi potongan gaji atau debit langsung mengikut jadual dan diskaun 20 peratus bagi pembayar penuh pinjaman PTPTN sebelum ini telah dimansuhkan oleh Pakatan Harapan.

Kelapan, memperluaskan pakej pelan data dan juga peranti yang diberikan kepada pelajar IPTA diperluaskan kepada IPTS.

Kesembilan, memberikan fokus keutamaan bagi meningkatkan fasiliti dan pemantauan sempadan maritim negara terutamanya melibatkan kawasan Beting Patinggi Ali yang sering dan telah diceroboh oleh kapal pengawal pantai China. Kesepuluh, meminta agar pemberian Bantuan Prihatin Rakyat diberikan dua kali setahun dan diperluaskan kepada golongan M40 berpendapatan RM8,000 ke bawah.

Kesebelas, meminta agar sektor pembinaan diberikan perhatian khusus bagi penganugerahan projek berskala besar dan mega diberikan kepada syarikat besar yang mewajibkan agar untuk diberikan secara pakej kepada kontraktor Kelas F seperti yang dilaksanakan pada masa yang lepas. Selain daripada itu, projek-projek kecil dan – seperti mengecat bangunan kerajaan, masjid, surau, landskap serta lain-lain diberikan kepada kontraktor Kelas F.

final • 2:00 PM

Dato’ Seri Dr. Shahidan bin Kassim - Arau

Kedua belas, memastikan agar bantuan khas pesawah RM200 sebulan selama tiga bulan tempoh sebelum menuai supaya diberikan balik. Ini telah diumumkan pelbagai subsidi dan sebagainya. Petani-petani di kawasan saya dan juga lain-lain kawasan pertanian meminta bantuan sebelum menuai selama tiga bulan yang saya percaya akan disokong oleh Yang Berhormat Kubang Pasu dan juga yang lain-lain termasuk semua kawasan pertanian.

Ketiga belas, meminta agar peruntukan bantuan awal persekolahan sebanyak RM300 juta dalam Bajet 2021 dinaikkan memandangkan berlaku pengurangan sebanyak RM30 juta berbanding Bajet 2020 bagi memastikan proses pendidikan tidak terganggu disebabkan oleh pandemik COVID-19 yang telah menjejaskan rakyat dari aspek hilang punca pendapatan dan kekurangan pendapatan.

Keempat belas, meminta agar tembok sempadan Malaysia-Thailand daripada Bukit Putih ke Kuala Perlis ke Bukit Kayu Hitam, Kedah dan juga ke Perak dinaikkan taraf sepanjang 105 kilometer kepada tembok konkrit dan juga kamera litar tertutup (CCTV). Kelima belas ialah meminta agar Zon Aliran Bebas Wang Kelian dibuka semula selepas wabak pandemik COVID-19 berjaya ditamatkan.

Keenam belas, bantuan one-off kepada Ketua Kampung, Tok Batin, Penghulu, Pengerusi JKK, Pengerusi JKKR, Jawatankuasa Kemajuan Kerja Rancangan dan juga lain-lain lagi pemimpin di barisan hadapan ini diberi one- off seperti diberi kepada imam, siak dan lain-lain lagi.

Ketujuh belas, meminta agar kerajaan meneliti nasib jurulatih PLKN yang ditamatkan kontrak dan memohon supaya mereka ini diberi dan diserapkan semula di mana-mana kementerian termasuk diserap kepada JASA yang akan ditubuhkan semula.

Kelapan belas, meminta agar keutamaan jawatan JASA diberikan kepada mereka yang telah dibuang kerja sebelum ini. Sebelum ini semua pihak marah kepada PH kerana PH telah membuang pekerja-pekerja kontrak yang melibatkan hampir 30,000 termasuklah pegawai-pegawai JASA. Akan tetapi dalam masa yang sama kita lihat pihak PH mengambil pegawai-pegawai khas.

Ini bekas Menteri PH ada di sini, mereka mengambil pegawai khas dengan gaji bertaraf JUSA termasuk pegawai-pegawai khas Kementerian Kewangan pada masa tersebut. Diambil dan diwujudkan jawatan pegawai-pegawai khas tetapi JASA yang melibatkan gaji RM1,000 – RM2,000 ini bukan sahaja dibuang tetapi jabatannya telah dimansuhkan.

Saya hendak beritahu JASA bukan jabatan yang diwujudkan main-main begitu sahaja. Dia ada bajet. Contohnya pada tahun 2015 bajetnya ialah RM74.7 juta, 2016 – RM70.51 juta, 2017 – RM76.37 juta, 2018 – RM81.72 juta, 2019 – 2020 – telah dimansuhkan, 2021 – hanya RM85.5 juta. Jadi kita kena ingat tadi Yang Berhormat Lembah Pantai sebut bahawa kita kecewa kerana berita-berita berhubung dengan COVID-19 ini tidak dapat disampaikan dengan baik kerana kita tidak ada agensi khas untuk menyampaikan berita. Maka ini sebab kita wujudkan JASA dan JASA bukan permainan kata-kata. Ia bukan hanya diwujudkan begitu sahaja.

final • 2:00 PM

Tuan Ahmad Fahmi bin Mohamed Fadzil - Lembah Pantai

Ada ‘CPRC’...

final • 2:00 PM

Dato’ Seri Dr. Shahidan bin Kassim - Arau

Akan tetapi diwujudkan berdasarkan kesinambungan. Saya hendak beritahu Kerajaan PH kena dedahkan balik, berapa orang pegawai-pegawai khas menteri yang telah diwujudkan sehingga mereka mansuhkan JASA yang merupakan satu jabatan bukan untuk Kerajaan BN tetapi mana-mana kerajaan yang memerintah boleh menggunakan JASA untuk menyampaikan berita yang benar.

final • 2:00 PM

Dato’ Seri Dr. Shahidan bin Kassim - Arau

Kemudian yang kesembilan belas, meminta agar kadar Elaun Pekerja Cacat (EPC) dinaikkan dari RM1,200 kepada RM1,500.

Kedua puluh, memberi elaun one-off kepada semua frontliners, sekarang ini kita beri kepada Kementerian Kesihatan. Saya hendak ucap terima kasih kepada Menteri Kesihatan, Menteri Pertahanan, Menteri-menteri dan pegawai-pegawai dan terutamanya kepada DG Kesihatan yang telah hadir sepanjang masa kita memperkenalkan cara-cara menangani COVID-19.

Akan tetapi sebenarnya COVID-19 ini bukan berlaku pada masa Yang Amat Berhormat Pagoh, dan juga kawan-kawan memerintah. Ianya berlaku pada bulan Disember 2019 yang mana kita telah kesan. Pada tahun 2020, kita telah diberi amaran oleh WHO bahawa Malaysia di antara negara yang sedang menghadapi COVID-19, tetapi apa yang Kerajaan PH buat?

DG yang sepatutnya memainkan peranan untuk bersama-sama mengambil tindakan menyelesaikan masalah pandemik, dia hanya menjadi pemerhati. Syukur alhamdulillah Kerajaan PN berjaya meletakkan orang-orang yang profesional pada tempatnya masing-masing.

[Tepuk] Apa yang Kerajaan PH buat? Pada 28 Januari 2020, ini dia statement, tengok gambar ini. [Sambil menunjukkan keratan gambar] Semua tengok, ini siapa dia. Ini Menteri PH mengatakan ini COVID-19 tidak apa, ini orang pelancong-pelancong yang datang semua sihat.

final • 2:00 PM

Dr. Lee Boon Chye - Gopeng

Mohon beri laluan.

final • 2:00 PM

Dato’ Seri Dr. Shahidan bin Kassim - Arau

Di mana DG Kesihatan?

DG Kesihatan duduk sebelah tengok sahaja. Menteri Kesihatan sedang senyum.

final • 2:00 PM

Dato’ Seri Dr. Shahidan bin Kassim - Arau

Ini dia gambar 28 Januari di mana mereka selesaikan COVID-19 dengan menyuruh Menteri Pelancongan mengeluarkan kenyataan. Ini dia. Akan tetapi bila Yang Berhormat Pagoh ambil alih, kita memperkenalkan PKP dan juga SOP yang ketat sehingga usaha kita untuk menangani COVID-19 dalam gelombang pertama di antara yang terbaik di dunia. Sekarang kita dalam gelombang ketiga. Kita menghadapi sedikit masalah bila perkara-perkara ini berlaku. Akan tetapi pengalaman kita masa gelombang pertama memberi cara kepada kita untuk menyelesaikan.

final • 2:10 PM

Datuk Seri Dr. Haji Dzulkefly bin Ahmad - Kuala Selangor

Yang Berhormat Arau, boleh Yang Berhormat Arau?

final • 2:10 PM

Dr. Lee Boon Chye - Gopeng

Tidak berani hendak bela.

final • 2:10 PM

Dato’ Seri Dr. Shahidan bin Kassim - Arau

Ini dia gambar.

final • 2:10 PM

Datuk Seri Dr. Haji Dzulkefly bin Ahmad - Kuala Selangor

Tidak payah lah tunjuk gambar sahaja Yang Berhormat Arau.

final • 2:10 PM

Dato’ Seri Dr. Shahidan bin Kassim - Arau

Wahai rakyat Malaysia, ini dia cara PH menyelesaikan masalah.

final • 2:10 PM

Datuk Seri Dr. Haji Dzulkefly bin Ahmad - Kuala Selangor

Alahai Yang Berhormat Arau. Boleh beri saya laluan sedikit?

final • 2:10 PM

Dato’ Seri Dr. Shahidan bin Kassim - Arau

Menteri Kesihatan duduk sebelah dengan memberi senyuman begitu sahaja.

final • 2:10 PM

Dr. Lee Boon Chye - Gopeng

Beri laluan.

final • 2:10 PM

Datuk Seri Dr. Haji Dzulkefly bin Ahmad - Kuala Selangor

Boleh Yang Berhormat Arau, sedikit?

final • 2:10 PM

Dato’ Seri Dr. Shahidan bin Kassim - Arau

Saya akan beri peluang untuk bercakap setelah saya habis.

final • 2:10 PM

Datuk Seri Dr. Haji Dzulkefly bin Ahmad - Kuala Selangor

Boleh saya mencelah sekarang ini Yang Berhormat Arau?

final • 2:10 PM

Dato’ Seri Dr. Shahidan bin Kassim - Arau

Sedikit. Bagi chance saya sedikit ya. Saya juga ingin memulakan fasa kedua ucapan saya ini iaitu Allah berfirman dalam Al-Quran dalam Surah Hujurat ayat 12, [Membaca ayat Al- Quran]; “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu buruk sangka dan jangan kamu mengintai keburukan orang”. Jadi, kita hendak bagi tahu bahawa satu peringatan yang hebat saya harus perkenalkan kepada semua rakyat bahawa berita tidak benar telah menjatuhkan Kerajaan BN dan menaikkan Kerajaan PH melalui berita tidak benar. Berita benar yang sebenarnya telah menjatuhkan Kerajaan PH dan menaikkan Kerajaan PN. Ini adalah sesuatu yang Kerajaan PN menjatuhkan PH itu betul. Sebab itu berita benar.

final • 2:10 PM

Datuk Seri Dr. Haji Dzulkefly bin Ahmad - Kuala Selangor

Yang Berhormat Arau, Kuala Selangor. Bagi laluan sedikit?

final • 2:10 PM

Dato’ Seri Dr. Shahidan bin Kassim - Arau

Akan tetapi Kerajaan PN dijatuhkan oleh pihak PH kerana berita tidak benar. Ini seperti yang diperkatakan oleh Yang Berhormat Langkawi...

final • 2:10 PM

Datuk Seri Dr. Haji Dzulkefly bin Ahmad - Kuala Selangor

Terima kasih Yang Berhormat Arau.

final • 2:10 PM

Dato’ Seri Dr. Shahidan bin Kassim - Arau

...Bahawa sekiranya berita tidak benar itu diulang berkali-kali sebagai benar, ia akan menjadi benar.

Akan tetapi berita benar yang disimpan ia akan menjadi tidak benar. Jadi kita perlukan pegawai agensi kerajaan terutamanya JASA untuk menerangkan kepada rakyat.

final • 2:10 PM

Datuk Seri Dr. Haji Dzulkefly bin Ahmad - Kuala Selangor

Yang Berhormat Arau.

final • 2:10 PM

Dato’ Seri Dr. Shahidan bin Kassim - Arau

Saya akan bagi sekejap lagi. Sekejap lagi ya. Kenyataan yang ketiga, terakhir ialah berhubung dengan sejarah yang harus dipegang oleh semua pihak. Jangan lagi terutamanya ramai yang tidak hadir pada saat terakhir ini. Jangan lah lagi sebut bahawa kerajaan ini kerajaan pintu belakang. Saya di antara orang yang meminati sejarah tetapi tidak sempat menulis. Akan tetapi insya-Allah dalam masa perlahan-lahan saya akan menulis bahawa sejarahnya ialah PH jatuh kerana Bersatu, komponen mereka keluar. Bila keluar, jatuh PH. Bila jatuh PH, Yang Berhormat Langkawi berhenti, kemudian dilantik jadi interim.

Kita semua dipanggil ke istana untuk minta akuan sumpah. Kita sign akuan sumpah. Akuan sumpah telah menunjukkan bahawa tidak ada satu orang pun yang layak untuk menjadi Perdana Menteri kerana tidak mendapat sokongan yang sewajarnya, termasuklah Yang Berhormat Langkawi dan juga Yang Berhormat Port Dickson. Akhirnya Ahli-ahli Parlimen telah mengambil keputusan beramai-ramai untuk menyokong Yang Berhormat Pagoh menjadi Perdana Menteri supaya negara ini tidak menjadi kelam kabut dalam keadaan kita menghadapi COVID-19.

Kerajaan PH tidak dapat buat apa-apa dan kerajaan dipegang oleh seorang Perdana Menteri Interim. Bila kita sokong Yang Berhormat Pagoh menjadi Perdana Menteri, maka Yang Berhormat Pagoh menjadi Perdana Menteri dan dibuatlah yang kita lihat pada hari ini ialah yang terbaik. Saya hendak bagi tahu bahawa kerajaan ini adalah kerajaan penyelamat. Penyelamat kepada krisis politik yang dihadapi oleh negara.

final • 2:10 PM

Datuk Seri Dr. Haji Dzulkefly bin Ahmad - Kuala Selangor

Terima kasih Yang Berhormat Arau. Kuala Selangor, Yang Berhormat Arau, sedikit.

Sedikit celah.

final • 2:10 PM

Dato’ Seri Dr. Shahidan bin Kassim - Arau

Jadi, Yang Berhormat Pagoh adalah kawasan penyelamat. Saya juga hendak bagi tahu kepada pembangkang, kepada kawan-kawan di sini. Saya baca ayat Al-Quran tadi bukan untuk didengar sahaja. Akan tetapi untuk dimaklumkan bahawa terdapat beberapa perbuatan yang luar biasa yang sedang berlaku sekarang iaitu menuduh seolah-olahnya ada di pihak PN ini yang boleh–– ada yang kata mungkin ada seorang atau dua orang tidak menyokong. Maka dengan ini bajet ini tidak lulus, kerajaan tumbang.

Ini adalah satu syak wasangka dan kita mengaitkan orang-orang yang merupakan ahli-ahli politik veteran yang mereka masuk politik sebelum kita lahir lagi. Sebelum Yang Berhormat Lembah Pantai lahir lagi mereka sudah masuk politik. Yang Berhormat Pekan masuk politik, Yang Berhormat Bagan Datuk, Yang Berhormat Gua Musang semua pihak ini masuk politik lebih awal lagi.

final • 2:10 PM

Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Mohd Rashid Hasnon

Satu minit lagi Yang Berhormat Arau. Boleh...

final • 2:10 PM

Dato’ Seri Dr. Shahidan bin Kassim - Arau

Akan tetapi kita syak wasangka kononnya mereka begitu, begini. Sekali mereka menyertai Barisan, mereka Barisan. Sekali Barisan bersama dengan PN, kita tetap bersama dengan PN.

final • 2:10 PM

Datuk Seri Dr. Haji Dzulkefly bin Ahmad - Kuala Selangor

Terima kasih Yang Berhormat Arau.

final • 2:10 PM

Dato’ Seri Dr. Shahidan bin Kassim - Arau

Kita ada 112 kerusi. Saya ucap takziah semoga Allah merahmati Yang Berhormat Gerik. Sebanyak 112 kerusi setelah kurang satu kerusi daripada 113. Pembangkang pun kurang, dia kurang Yang Berhormat Batu Sapi. Jadi dalam masa yang sama, kita tahu bahawa bebas dan juga parti Yang Berhormat Langkawi masih belum buat keputusan. Akan tetapi saya hendak bagi tahu sesiapa sahaja yang menolak bajet ini termasuk kawan saya bekas Menteri Kesihatan tolak bajet, khianat rakyat sebabnya rakyat sedang menunggu. Anggota kerajaan menunggu supaya bajet ini diluluskan. Mereka yang dibuang kerja menunggu untuk mereka diambil semula.

final • 2:10 PM

Dr. Lee Boon Chye - Gopeng

Beri laluan.

final • 2:10 PM

Dato’ Seri Dr. Shahidan bin Kassim - Arau

Kita tolak bajet, kita menghina mereka, kita khianat mereka. Saya hendak bagi tahu, saya merayu.

Akan tetapi kalau tuan-tuan tidak mahu terima rayuan, terpulang. Saya baca ayat Al-Quran tadi. Jangan buruk sangka pada kami dan jangan buruk sangka pada rakyat.

final • 2:10 PM

Datuk Seri Dr. Haji Dzulkefly bin Ahmad - Kuala Selangor

Baca ayat Al-Quran.

final • 2:10 PM

Dato’ Seri Dr. Shahidan bin Kassim - Arau

Kalau kita tolak, bererti Tuan Yang di-Pertua, kita tolak amanah rakyat. Amanah rakyat, amanah rakyat.

Ya, silakan.

final • 2:10 PM

Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Mohd Rashid Hasnon

Ahli-ahli Yang Berhormat, masa telah tamat.

final • 2:10 PM

Datuk Seri Dr. Haji Dzulkefly bin Ahmad - Kuala Selangor

Tuan Yang di-Pertua, baca ayat Al-Quran tetapi tidak memenuhi tuntutan ayat Al- Quran. Tadi berjanji hendak beri laluan. Sudah habis baru hendak bagi.

final • 2:10 PM

Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Mohd Rashid Hasnon

Ahli-ahli Yang Berhormat, saya minta maaf.

final • 2:10 PM

Dato’ Seri Dr. Shahidan bin Kassim - Arau

Dan akhir sekali...

final • 2:10 PM

Datuk Seri Dr. Haji Dzulkefly bin Ahmad - Kuala Selangor

Dalam Dewan ini pun hendak berbohong.

final • 2:10 PM

Dato’ Seri Dr. Shahidan bin Kassim - Arau

Ya, silakan Yang Berhormat Gopeng.

final • 2:10 PM

Datuk Seri Dr. Haji Dzulkefly bin Ahmad - Kuala Selangor

Boleh?

Saya, saya...

final • 2:10 PM

Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Mohd Rashid Hasnon

Secepatnya.

final • 2:10 PM

Dr. Lee Boon Chye - Gopeng

Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, last minute. Terima kasih Yang Berhormat Arau. Kalau kita lihat, memang kita kagum dengan prestasi Ketua Pengarah Tan Sri Dr. Noor Hisham dan saya harap kita bersama-sama berhenti menuduh bahawa beliau takut mati. Akan tetapi yang paling penting sekali adalah apabila kita mentadbirkan Kementerian Kesihatan, perlu kerjasama antara kakitangan kerajaan dan dipimpin oleh pimpinan politik Menteri dan Timbalan Menteri.

final • 2:10 PM

Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Mohd Rashid Hasnon

Terima kasih Yang Berhormat Gopeng.

final • 2:10 PM

Dr. Lee Boon Chye - Gopeng

Kita melalui gelombang pertama yang berjaya 10 hari tanpa kes baharu semasa Pakatan Harapan memerintah, sehingga Sheraton Move yang menyebabkan gelombang kedua dan seterusnya apabila rampasan kuasa yang berlaku di Sabah yang menyebabkan PRN Sabah yang menyebabkan gelombang ketiga. Betul tidak?

final • 2:10 PM

Dato’ Seri Dr. Shahidan bin Kassim - Arau

Ya, terima kasih. [Sambil menunjukkan sehelai kertas bergambar]

final • 2:10 PM

Dr. Lee Boon Chye - Gopeng

Bukankah ini...

[Sistem pembesar suara dipadamkan]

final • 2:10 PM

Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Mohd Rashid Hasnon

Baik, Ahli- ahli Yang Berhormat, saya off-kan mic kerana saya hendak bagi terus dirumuskan beberapa saat. Sila Yang Berhormat Arau.

final • 2:10 PM

Dato’ Seri Dr. Shahidan bin Kassim - Arau

Dalam beberapa saat ini saya ingin merumuskan bahawa kita hendak menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada kerajaan pimpinan Yang Amat Berhormat Pagoh.

Keduanya, kita hendak menyatakan bahawa kita bersetuju dan menyokong bajet yang telah dibentangkan oleh Menteri Kewangan dan saya ingin menyatakan bagi pihak kami semua dengan rasa rendah diri mengucap terima kasih kepada semua anggota kerajaan yang telah membantu kita selama ini. Dalam masa yang sama, saya minta Ahli-ahli Parlimen demi keikhlasan kita kepada rakyat, marilah kita bersetuju untuk potong elaun kita sebanyak 10 peratus untuk membantu ke Tabung COVID-19 yang mungkin dibuat oleh kerajaan.

final • 2:10 PM

Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Mohd Rashid Hasnon

Terima kasih Yang Berhormat.

final • 2:10 PM

Dato’ Seri Dr. Shahidan bin Kassim - Arau

Semua kawan-kawan semua setuju?

final • 2:10 PM

Tuan Abdul Latiff bin Abdul Rahman - Kuala Krai

Setuju, setuju.

final • 2:10 PM

Dato’ Seri Dr. Shahidan bin Kassim - Arau

Semua setuju. Jadi dengan itu kita potong. Pembangkang mungkin tidak setuju sebab mereka hanya...

final • 2:10 PM

Tuan Abdul Latiff bin Abdul Rahman - Kuala Krai

Tanya pembangkang sendiri lah.

final • 2:10 PM

Dato’ Seri Dr. Shahidan bin Kassim - Arau

Kalau setuju, kita potong 10 peratus dan saya sendiri mencadangkan saya dipotong 20 peratus.

final • 2:10 PM

Datuk Seri Dr. Haji Dzulkefly bin Ahmad - Kuala Selangor

Boleh setuju, tidak ada masalah.

final • 2:10 PM

Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Mohd Rashid Hasnon

Terima kasih Yang Berhormat. Terima kasih.

final • 2:10 PM

Dato’ Seri Dr. Shahidan bin Kassim - Arau

Apa yang paling penting ialah kita ucap terima kasih dan menyatakan bahawa tidak perlu timbul syak wasangka bahawa ada orang tidak menyokong bajet termasuk Yang Berhormat Padang Rengas dan semua pihak. Tidak ada orang tidak menyokong bajet. Kita menyokong bajet ini dengan sepenuhnya. Silalah kawan-kawan lain. Kalau sekiranya tidak mahu sokong jangan hadir Parlimen pada masa tersebut.

Pergilah di mana-mana. Kita hendak pastikan biar rakyat nampak kita sehati sejiwa untuk memperjuangkan hak rakyat, masalah rakyat. Terima kasih kepada semua.

final • 2:10 PM

Timbalan Yang di-Pertua - Dato’ Mohd Rashid Hasnon

Terima kasih Yang Berhormat Arau. Saya minta maaf kepada Ahli-ahli Yang Berhormat kerana kekangan masa yang ada. Ahli-ahli Yang Berhormat, seramai 82 ahli- ahli Yang Berhormat telah berbahas daripada backbenchers. Saya ucapkan ribuan terima kasih. Ahli-ahli Yang Berhormat, Mesyuarat Dewan hari ini ditangguhkan sehingga jam 10.00 pagi hari Isnin 23 November 2020. Terima kasih Ahli-ahli Yang Berhormat.

final • 2:10 PM

[Dewan ditangguhkan pada pukul 2.19 petang]

Hak Cipta Terpelihara © 2026