May182020

Katalog Hansard

Dewan Rakyat
  Disahkan

**[****Tuan Yang di-Pertua mempengerusikan Mesyuarat]

final • 10:12 AM
ISTIADAT PEMBUKAAN PENGGAL KETIGA MAJLIS PARLIMEN YANG KEEMPAT BELAS

Tuan Yang di-Pertua

Bismillaahir Rahmaanir Rahiim, assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Ahli-ahli Yang Berhormat, Persidangan Parlimen Yang Keempat Belas, Penggal Ketiga yang diadakan bersama di antara Dewan Negara dan Dewan Rakyat sekarang berlangsung. Persidangan ini adalah di bawah Perkara 60, Perlembagaan Persekutuan di mana Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong akan bertitah kepada Ahli-ahli kedua- dua Majlis Parlimen bersesama. Sekarang saya tempohkan persidangan buat sementara waktu untuk menyambut keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Persidangan ditempohkan.

final • 10:12 AM

[Mesyuarat ditempohkan pada pukul 10.15 pagi]

[Mesyuarat disambung semula pada pukul 10.20 pagi]

Tuan Yang di-Pertua

[Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke Dewan Mesyuarat dan bersemayam di Peterana Diraja] [Yang Amat Berhormat Perdana Menteri mempersembahkan Titah Diraja kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong]

final • 10:20 AM
TITAH KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA SERI PADUKA BAGINDA YANG DI-PERTUAN AGONG XVI AL-SULTAN ABDULLAH RI’AYATUDDIN AL-MUSTAFA BILLAH SHAH IBNI ALMARHUM SULTAN HAJI AHMAD SHAH AL-MUSTA’IN BILLAH
Bismillaahir Rahmaanir Rahiim, Alhamdulillahi Rabbil ‘Alamin Wassolaatu Wassalaamu ‘Ala Asyrafil Anbiyaai Wal Mursaliin, Wa’ala Aalihi Wa Sohbihi Ajma’iin. Rabbish rahli sadri, Wayassirli amri, Wahlul uqdatan min lisaani, Yafqahu qauli. Assalamualaikum warahmatullaahi wabarakaatuh dan salam sejahtera. Yang di-Pertua Dewan Negara, Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Ahli-Ahli Dewan Negara dan Ahli-Ahli Dewan Rakyat sekalian.

Alhamdulillah, bersyukur Beta ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala, kerana telah melimpahkan kurnia dan keizinan-Nya kepada kita semua pada hari ini untuk bersama- sama dalam Istiadat Pembukaan Penggal Ketiga, Parlimen Ke-14. Lebih bermakna apabila istiadat ini berlangsung dalam bulan Ramadan, yakni bulan yang penuh keberkatan dan menjadi penghulu kepada sekalian bulan.

Istiadat pada pagi ini diadakan dalam suasana yang agak berbeza dari norma dan kelazimannya. Ketika ini, negara kita masih lagi dalam usaha memerangi penularan wabak COVID-19 yang telah mula-mula dikesan menjangkiti rakyat Malaysia pada awal bulan Februari yang lalu. Namun demikian, kita telah menghadapi dan menangani wabak ini dengan bersatu padu sebagai sebuah bangsa Malaysia yang kuat, cekal dan berdisiplin. Dalam saat getir ini, petugas barisan hadapan negara terutamanya perkhidmatan kesihatan, Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia, Agensi Pengurusan Bencana Negara, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia dan lain-lain agensi yang turut terlibat telah tampil dengan penuh dedikasi yang tinggi menghadapi serangan wabak ini. Tepuk] Pengorbanan mereka tidak pernah mengenal erti penat mahupun takut hinggakan nyawa dan keselamatan diri sendiri menjadi taruhan demi menjaga kemaslahatan dan kepentingan orang ramai. Justeru, sebagai tanda penghargaan negara marilah bersama-sama dengan Beta untuk berdiri dan memberikan tepukan yang gemuruh kepada semua wira dan wirawati petugas barisan hadapan negara. [Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong dan Semua Ahli Yang Berhormat berdiri serta memberi tepukan gemuruh] Ahli-Ahli Yang Berhormat, pada 24 Februari 2020 yang lalu, naratif landskap politik negara telah sekali lagi digegarkan menerusi peletakan jawatan Perdana Menteri Malaysia yang ke-7. Sekitar jam 5.00 petang pada hari yang sama, Beta telah berkenan menerima menghadap Yang Berhormat Tun Dr. Mahathir bin Mohamad. Dalam pertemuan tersebut, Beta telah meminta Yang Berhormat Tun Dr. Mahathir bin Mohamad untuk tidak meletak jawatan. Namun beliau tetap dengan keputusannya. Beta dengan hati yang sedih terpaksa akur dan menghormati keputusan beliau.

Oleh yang demikian, Beta bertanggungjawab untuk melantik seorang Perdana Menteri yang baharu seperti mana yang dikehendaki oleh Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 43 memberi kuasa budi bicara kepada Beta untuk melantik seorang Ahli Dewan Rakyat yang pada hemat Beta mendapat kepercayaan majoriti Ahli-Ahli Dewan Rakyat.

Lantaran itu, pada 25 dan 26 Februari 2020, Beta telah mengadakan sesi pertemuan secara berseorangan dengan Ahli-Ahli Dewan Rakyat untuk menilai sendiri sokongan kepercayaan mereka. Seterusnya pada 29 Februari 2020, Beta telah menitahkan semua parti politik yang mempunyai wakil dalam Dewan Rakyat untuk mencalonkan nama seorang ahli Dewan Rakyat sebagai bakal Perdana Menteri. Atas permintaan beberapa ketua parti politik, Beta telah berkenan pula untuk melanjutkan tempoh masa bagi parti-parti politik mengemukakan pencalonan mereka agar masa yang cukup diberikan dalam mereka membuat perhitungan secara demokrasi.

final • 10:20 AM

Sudah tentu setiap pertandingan pasti akan ada penamatnya. Kemelut politik negara tidak boleh dibiarkan berlarutan dan berpanjangan dengan tanpa ada penghujungnya. Lantaran itu, setelah melalui semua proses tersebut dan selaras dengan Perlembagaan Persekutuan, Beta telah mendapati Yang Amat Berhormat Tan Sri Muhyiddin bin Haji Yassin telah mendapat kepercayaan majoriti Ahli-Ahli Dewan Rakyat dan dengan demikian selayaknya dilantik sebagai Perdana Menteri Ke-8.

Sesungguhnya, Beta telah menggalas amanah dengan telus dan adil selaras dengan konsep Raja Berperlembagaan dan demokrasi berparlimen yang menjadi tunjang amalan negara kita.

[Tepuk] Pada masa yang sama, Beta juga menghargai kematangan dan kerjasama semua Ahli Yang Berhormat dan rakyat jelata yang telah memainkan peranan dengan penuh berhemah dan beretika sehingga membolehkan Beta menggalas amanah ini. Kepada Kerajaan Beta di bawah kepimpinan Mamanda Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat Tan Sri Muhyiddin bin Haji Yassin, Beta menaruh keyakinan bahawa usaha-usaha membawa negara untuk terus mendaki persada kejayaan yang lebih tinggi akan menjadi kenyataan, insya-Allah. Nasihat Beta, laksanakan amanah ini dengan jujur dan penuh tanggungjawab, serta jangan sekali-kali mengabaikan kesejahteraan rakyat jelata.

Ahli-ahli Yang Berhormat, sesungguhnya negara kita sedang berhadapan dengan cabaran daripada pelbagai sudut dan yang terbaru penularan wabak covid-19.

Semua cabaran ini telah memberi kesan kepada Malaysia yang mengamalkan ekonomi terbuka. Beta berkeyakinan kerajaan Beta akan terus berusaha mengurangkan kesan buruk kepada rakyat dan negara.

Kedatangan wabak virus COVID-19 yang melanda dunia dan negara, telah turut memberi kesan kepada ekonomi serta kesihatan dan kehidupan rakyat jelata. Belum pernah negara berhadapan dengan wabak yang sebegini serius sebelum ini. Dalam menghadapi wabak ini, fokus utama Kerajaan Beta adalah untuk memastikan kesejahteraan dan keselamatan rakyat jelata sentiasa terjamin dan terbela. Ini termasuk dengan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan dan membantu membawa pulang rakyat Malaysia yang terperangkap di luar negara.

Beta memahami banyak industri dan perniagaan terjejas akibat wabak ini.

Namun, Beta menyeru kepada para majikan untuk tidak membuang pekerja dengan sewenang-wenangnya. Semua pihak hendaklah bersedia melakukan pengorbanan dan juga berusaha menyelamatkan ekonomi negara. Kerajaan Beta juga wajar mencari pendekatan dalam membantu syarikat dan perniagaan yang terkesan teruk.

Beta berharap inisiatif-inisiatif yang diambil oleh Majlis Tindakan Ekonomi termasuk Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat yang berjumlah RM260 bilion bagi melindungi kebajikan rakyat dan ekonomi negara akan segera dirasai impaknya. Pakej tersebut adalah suatu yang amat besar dan luar biasa. Justeru, ia perlu disokong sepenuhnya oleh semua pihak. Beta yakin dengan kerjasama dan kesepakatan yang jitu, cabaran yang kita hadapi ini akan dapat kita tangani bersama, insya-Allah.

Ahli-ahli Yang Berhormat, di sebalik usaha-usaha Kerajaan, Beta juga berasa bimbang melihat polarisasi kaum yang masih wujud ketika ini. Pada hemat Beta, sebarang bentuk tindakan provokasi dan fahaman serta nilai yang bertentangan dengan norma, adat dan undang-undang perlu dibendung sebelum ia merebak dan menjadi barah kepada kestabilan negara.

Justeru, Beta menyambut baik pelaksanaan Pelan Tindakan Perpaduan Negara bagi memastikan agenda perpaduan nasional dapat diterapkan secara menyeluruh menerusi elemen-elemen kepercayaan dan jati diri yang teguh berlandaskan kepada prinsip Rukun Negara.

Kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan akan terus dipertahankan. Beta mahu Kerajaan mewujudkan pentadbiran agama Islam seperti yang dituntut dan selaras dengan ajaran Islam yang syumul dan dipacu oleh prinsip Maqasid Syariah. Pada masa yang sama, Kerajaan Beta akan terus mempertahankan hak-hak penganut agama lain untuk terus bebas mengamalkan agama mereka secara berhemah dan aman.

Menyentuh aspek keselamatan negara, Beta berharap kerangka strategi dan dasar pertahanan masa depan negara perlu mengambil kira kepentingan diplomasi pertahanan, dasar luar negara yang pragmatik, triti antarabangsa dan kedudukan geopolitik negara di rantau Asia Pasifik. Peningkatan aktiviti ketenteraan kuasa-kuasa besar dunia di Laut Cina Selatan mutakhir ini wajar diberikan perhatian. Oleh kerana itu, Malaysia hendaklah sentiasa peka kepada domain maritim negara di samping terus merangka strategi untuk mendukung aspirasi geopolitik negara. Pada masa yang sama,

final • 10:20 AM

tahap keselamatan dalam negara hendaklah terus dipertingkatkan terutamanya dalam menangani pelbagai jenayah, penyalahgunaan dadah, penyeludupan dan juga pemerdagangan manusia. Selain itu, Kerajaan hendaklah juga merangka pendekatan yang komprehensif dalam menangani kemasukan pendatang asing tanpa izin yang boleh menimbulkan pelbagai masalah dari aspek ekonomi, sosial dan keselamatan negara.

Sempadan negara yang terbuka luas perlu terus diperkukuhkan dalam usaha mengekang laluan rentas sempadan pendatang asing tanpa izin.

Ahli-Ahli Yang Berhormat, Kerajaan Beta akan terus melaksanakan pelbagai program dan inisiatif bagi merancakkan aktiviti ekonomi untuk meningkatkan pendapatan dan kesejahteraan rakyat. Ke arah ini, Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, akan menjadi pencetus kepada hala tuju baharu pembangunan negara. Wawasan ini bermatlamat supaya segenap lapisan rakyat dapat mengecap taraf hidup wajar dengan pengagihan ekonomi yang adil, saksama serta inklusif. Selain itu, jurang ekonomi dan pembangunan antara kelas pendapatan, wilayah, etnik dan rantaian bekalan akan dirapatkan.

Rancangan Malaysia Ke-12 yang akan dibentangkan di dewan yang mulia ini adalah merupakan fasa pertama Wawasan Kemakmuran Bersama 2030. Beta yakin dasar dan strategi rancangan tersebut akan dapat meningkatkan lagi pertumbuhan ekonomi dan kemajuan negara yang akhirnya akan dinikmati oleh rakyat keseluruhannya.

Kerajaan Beta akan terus mempermudah urusan perniagaan bagi meningkatkan aktiviti pelaburan. Hal ini termasuk mengemas kini undang-undang, proses kelulusan dan insentif sedia ada. Beta menyeru agar proses kelulusan terutamanya projek berimpak tinggi hendaklah ditambah baik agar ianya cekap dan pantas bagi menarik lebih banyak pelaburan berkualiti.

Selaras dengan Revolusi Industri 4.0, Beta menyambut baik dasar untuk mewujudkan ekosistem dan pembangunan prasarana yang menyokong industri negara.

Sumber pertumbuhan baharu yang berkembang pesat seperti teknologi 5G, kecerdasan buatan, Internet of Things dan analitis data raya akan diperhebatkan. Beta menggesa pemain industri agar turut sama mempergiat usaha sebagai pelengkap kepada inisiatif yang dibawa oleh Kerajaan.

Ahli-Ahli Yang Berhormat, Kerajaan Beta akan terus berusaha untuk mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat, termasuk dalam bidang keusahawanan yang menjadi antara nadi utama pembangunan ekonomi negara. Beta menyambut baik strategi dan inisiatif bagi membangunkan lebih banyak perusahaan kecil dan sederhana ke arah menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara keusahawanan unggul menjelang tahun 2030.

Untuk memastikan negara sentiasa di hadapan dalam pelbagai bidang, kemajuan Revolusi Industri 4.0 dan kolaborasi dengan pelbagai pihak hendaklah dimanfaatkan untuk meningkatkan akses dan kesaksamaan pendidikan, khususnya pendidikan di era pasca COVID-19 yang bakal berhadapan dengan kelaziman baharu, atau the new normal.

Beta berharap pelaburan dalam penyelidikan, pembangunan dan inovasi akan terus dipertingkatkan agar dapat melahirkan modal insan dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik. Beta juga amat menyokong pemerkasaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional, atau TVET untuk mempersiapkan golongan belia menghadapi cabaran baharu alam pekerjaan.

Kerajaan Beta akan terus berusaha untuk merapatkan jurang pembangunan dan ekonomi antara negeri dan wilayah. Ia merangkumi usaha untuk meningkatkan mobiliti rakyat dengan menambah baik rangkaian dan infrastruktur asas serta pengangkutan.

Bagi meningkatkan lagi kesejahteraan rakyat dan merapatkan jurang pembangunan di Sabah dan Sarawak, Kerajaan Beta telah mengambil langkah menerusi pelaksanaan projek-projek infrastruktur kritikal di kedua-dua negeri tersebut. Beta berharap rakyat di Sabah dan Sarawak akan dapat menikmati jaringan perhubungan dan kemudahan yang berkualiti dan lebih baik. Kawasan pedalaman di Semenanjung juga akan terus diberi perhatian yang sama terutamanya di penempatan masyarakat Orang Asli.

Ahli-Ahli Yang Berhormat, perkembangan terkini menunjukkan lebih dua pertiga rakyat Malaysia tinggal di bandar, justeru, kesejahteraan masyarakat bandar akan terus dipertingkatkan. Bagi meningkatkan pemilikan rumah, Kerajaan Beta telah merangka Dasar Perumahan Mampu Milik Negara dan mewujudkan Skim Sewa Milik. Melalui

final • 10:20 AM

inisiatif tersebut diharap lebih ramai golongan B40 dan M40 serta golongan belia yang berkelayakan dapat memiliki kediaman sendiri.

Sebagai Kerajaan yang prihatin, masalah kos sara hidup rakyat akan terus ditangani dengan sebaik mungkin. Pelbagai langkah dan inisiatif akan dilaksanakan dan terus ditambah baik untuk membantu rakyat menangani isu kos sara hidup.

Kerajaan Beta akan meneruskan usaha untuk menjaga kebajikan dan kesejahteraan rakyat jelata terutamanya kanak-kanak, wanita, warga emas yang rentan, orang kurang upaya dan golongan yang memerlukan. Bagi memperkukuh perlindungan dan hak kanak-kanak pula, usaha diambil bagi memastikan mereka tidak dieksploitasi dalam apa-apa bentuk dan pada masa yang sama potensi penuh mereka dapat direalisasikan. Beta juga menyambut baik penggubalan Rang Undang-undang Profesion Kerja Sosial yang akan memberi dimensi baharu kepada landskap sosial negara. Dalam pada itu, belia pula perlu terus dibimbing agar tidak terlibat dengan gejala negatif.

Ahli-ahli Yang Berhormat, Kerajaan Beta akan meneruskan usaha untuk membangunkan industri komoditi berasaskan pertanian dan juga meningkatkan permintaan pasaran dan jaminan sekuriti makanan negara.

Kerajaan Beta turut beriltizam untuk terus meningkatkan akses perkhidmatan kesihatan yang saksama kepada rakyat. Perkhidmatan kesihatan akan diperkasa dengan menjurus kepada pencegahan dan perawatan secara holistik termasuk kepada masyarakat luar bandar, Orang Asli serta pribumi di Sabah dan Sarawak.

Beta menyeru supaya Malaysia terus komited dalam usaha mengetengahkan isu alam sekitar dan perubahan iklim di samping terus mempergiatkan usaha untuk memulihara sungai, hutan, hidupan liar dan mengurangkan intensiti pelepasan gas rumah kaca serta meningkatkan penggunaan tenaga boleh baharu. Pemerkasaan undang-undang alam sekitar, aktiviti penguatkuasaan dan kerjasama erat semua pihak termasuk negara serantau perlu terus dilaksanakan.

Sungguhpun Tahun Melawat Malaysia 2020 telah dibatalkan ekoran penularan wabak COVID-19, usaha-usaha bagi memulihkan sektor pelancongan negara hendaklah diteruskan. Pada masa yang sama, pemain industri pelancongan hendaklah berusaha untuk memperkukuhkan produk dan pakej pelancongan serta menjaga infrastruktur sedia ada bagi mengembalikan semula kecemerlangan sektor pelancongan negara.

Sebagai tuan rumah Persidangan APEC 2020, Malaysia akan menggalas tanggungjawab besar dalam menentukan hala tuju APEC khususnya dalam membentuk landasan baru kerjasama ekonomi serantau pasca COVID-19. Beta percaya Kerajaan Beta akan dapat memberikan kepimpinan yang berkesan ke arah usaha tersebut dan juga merencana wawasan baharu APEC bagi menggantikan Matlamat Bogor yang akan berakhir pada tahun ini.

Ahli-Ahli Yang Berhormat, natijahnya, apa juga pelan dan program ke arah pembentukan sebuah negara maju yang stabil lagi makmur tidak akan tercapai jika negara terus dibelenggu dengan amalan rasuah. Justeru, pelaksanaan program pembangunan berteraskan amalan integriti dan tadbir urus yang baik adalah penting bagi mencapai pertumbuhan ekonomi yang mampan serta demi menjaga kesejahteraan rakyat dan negara. Beta menggesa agar Kerajaan Beta untuk terus komited dalam melaksanakan Pelan Antirasuah Nasional. Beta menyeru semua pihak untuk mendukung aspirasi ini agar setiap agenda pembangunan negara tidak terhakis oleh amalan rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa. Tanamkan di dalam minda masyarakat semenjak di bangku sekolah lagi bahawa rasuah adalah jijik, kotor dan wajar diperangi habis- habisan.

[Tepuk] Ahli-Ahli Yang Berhormat, Beta amat menghargai taat setia dan sumbangan anggota-anggota Perkhidmatan Awam, Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia serta agensi-agensi Kerajaan yang telah mencurahkan khidmat bakti dalam usaha memajukan negara sehingga menjadikan Malaysia sebuah negara yang aman, makmur dan disegani. Beta menyeru agar amanah dan tanggungjawab yang dijunjung dalam berbakti kepada negara dan rakyat jelata hendaklah terus dilaksanakan dengan sebaiknya secara profesional dan neutral tanpa mengira kaum, agama mahupun kedudukan. Pada masa yang sama, Beta menyeru agar rakyat jelata terus memberikan kerjasama kepada Kerajaan Beta bagi meneruskan kesinambungan usaha-usaha pembangunan negara. Beta yakin, Kerajaan sahaja yang mampu melahirkan Malaysia yang stabil, aman dan sejahtera.

Ahli-Ahli Yang Berhormat Sekalian, sebelum Beta mengakhiri titah ini, Beta ingin berpesan kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat sekaliannya. Sebagai seorang pemimpin, Ahli-ahli Yang Berhormat menjadi teladan dalam menyemai nilai-nilai positif kepada rakyat. Perbezaan pendapat tidak seharusnya diakhiri dengan permusuhan dan caci

final • 10:20 AM

mencaci. Sebaliknya, perbezaan pendapat seharusnya menjadi landasan kepada pencetus idea-idea baharu untuk membangun dan menyatupadukan negara dan bukan sebaliknya.

Ahli-ahli Yang Berhormat hendaklah sentiasa mempamerkan kematangan dalam berpolitik.

[Tepuk] Ini termasuklah menjiwai keluh kesah rakyat, membela nasib rakyat, berpegang kepada prinsip keadilan, membudayakan politik yang bersih, tidak menyentuh sensitiviti agama dan bangsa [Tepuk] mahupun kedaulatan serta kedudukan Raja-Raja Melayu.

[Tepuk] Beta ingin menasihatkan supaya tidak mengheret negara sekali lagi ke kancah politik yang tidak menentu [Tepuk] ketika rakyat jelata masih berhadapan dengan pelbagai masalah dan masa depan yang sukar akibat pandemik COVID-19.

[Tepuk] Kerana itulah Kerajaan Beta juga telah memutuskan Majlis Mesyuarat Pertama yang berlangsung pada hari ini hanya mempunyai satu urusan majlis sahaja [Tepuk] iaitu Titah Beta sempena pembukaan penggal parlimen yang baru ini.

Beta yakin, rakyat akan terus erat bersatu-padu dan sepakat dalam membangunkan negara jika rakyat tidak disogok dengan api permusuhan dan perpecahan. Sesungguhnya biarlah perpaduan dan keharmonian bermula di dalam Dewan yang mulia ini.

[Tepuk] Kepada rakyat jelata sekalian, teruskan menjaga kesihatan diri dan keluarga serta persekitaran setempat. Hindari daripada berhimpun secara ramai, dan teruskan mengamal penjarakan sosial. Mudah-mudahan Malaysia akan berjaya menangani pandemik COVID-19 ini dengan jayanya.

[Tepuk] Mengakhiri titah, Beta dan Raja Permaisuri Agong berdoa semoga Malaysia serta rakyatnya akan terus diberkati dan dianugerahkan oleh Allah Subhanahu Wata’ala dengan taufik dan hidayah, aman sentosa serta hidup bersatu padu di bawah lindungan- Nya. Selamat berpuasa dan teruskan amalan ibadah dan jangan lupa membayar zakat dan Selamat Menyambut Hari Raya Aidil Fitri, maaf zahir dan batin, ikhlas daripada Beta, Raja Permaisuri Agong dan keluarga.

[Tepuk] Sekian, Wabillahi Taufik Walhidayah, Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakaatuh.

[Tepuk]

final • 10:20 AM

[Dewan ditangguhkan pada pukul 10.50 pagi]

[Doa Selamat dibacakan oleh Al Fadhil Imam Besar Masjid Negara, Tuan Haji Ehsan bin Mohd Hosni] [Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong berangkat meninggalkan Majlis Parlimen]

final • 10:50 AM

Hak Cipta Terpelihara © 2026