Katalog Hansard
[Tuan Yang di-Pertua mempengerusikan Mesyuarat]
Tuan Yang di-Pertua
Ahli-ahli Yang Berhormat, Persidangan Parlimen Yang Ketiga Belas, Penggal Keempat yang diadakan bersama di antara Dewan Negara dan Dewan Rakyat sekarang berlangsung.
Persidangan ini adalah di bawah Perkara 60, Perlembagaan Persekutuan di mana Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong akan bertitah kepada Ahli-ahli kedua-dua Majlis Parlimen bersesama. Sekarang saya tempohkan persidangan buat sementara waktu untuk menyambut keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
Persidangan ditempohkan.
[Mesyuarat ditempohkan pada pukul 10.49 pagi]
[Mesyuarat disambung semula pada pukul 11.00 pagi]
Tuan Yang di-Pertua
[Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong ke Dewan Mesyuarat dan bersemayam di Peterana Diraja] [Yang Amat Berhormat Perdana Menteri mempersembahkan Titah Ucapan Diraja kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong]
Bismillaahir Rahmaanir Rahiim, Alhamdulillahi Rabbil ‘Alamin Wassolaatu Wassalaamu ‘Ala Asyrafil Anbiyaai Wal Mursalin Wa’ala Aalihi Wa Sohbihi Ajma’iin, Assalamualaikum Warahmatullaahi Wabarakaatuh dan Salam Sejahtera.
Yang di-Pertua Dewan Negara, Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Ahli-Ahli Dewan Negara dan Ahli-Ahli Dewan Rakyat sekalian.
Alhamdulillah, Beta memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala, kerana dengan limpah kurnia dan izin-Nya dapat kita bersama-sama pada hari ini dalam Istiadat Pembukaan Penggal Keempat, Parlimen Ketiga Belas.
Ahli-Ahli Yang Berhormat, Beta bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan kehendak dan izin-Nya jua, Beta dianugerahkan kesihatan yang berterusan untuk menaungi dan memayungi negara tercinta. Tiada ungkapan yang dapat dizahirkan tentang peri eloknya lakaran potret keamanan dan kemajuan yang telah dicapai pertiwi ini. Beta amat bertuah kerana daripada takhta yang sama ini dapat menyaksikan pencapaian negara dalam dua era yang berbeza. Beta berharap kesinambungan pentadbiran ini dikekalkan bagi merealisasi matlamat negara maju berpendapatan tinggi yang bukan hanya bersandarkan kepada pencapaian ekonomi semata-mata tetapi turut mengutamakan kesejahteraan rakyat.
Beta juga memanjatkan kesyukuran atas kurniaan Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan kasih dan sayang-Nya telah melindungi negara ini daripada bencana besar dan mara bahaya sepanjang tahun 2015. Sama- samalah kita berdoa semoga keadaan ini berkekalan.
Kerajaan Beta sedar bencana seperti banjir berlaku hampir setiap tahun dan perkara ini mungkin akan menjadi fenomena biasa khususnya dengan perubahan suhu dan iklim dunia. Oleh itu, segala usaha untuk meningkatkan persediaan sebelum, semasa dan selepas bencana akan terus digembleng dan dipertingkatkan terutamanya bagi menghadapi bencana banjir. Penubuhan Agensi Pengurusan Bencana Negara, atau NADMA diharap akan dapat mengukuhkan lagi tahap kesiapsiagaan dalam menghadapi bencana termasuk melalui pendekatan kreatif dan inovatif melalui sains dan teknologi dalam memantau, meramal dan menangani risiko bencana banjir.
Ancaman keselamatan yang menggugat kesejahteraan negara adalah nyata. Perkembangan ancaman militan dan anasir keganasan yang mula menular di negara ini perlu diberi perhatian serius kerana ia boleh menjerumus negara dalam kancah ketidakstabilan. Sehubungan itu, Beta menyokong tindakan proaktif melalui pewujudan undang-undang serta
mempertingkatkan aset-aset keselamatan bagi mengekang fahaman ekstrem dan penularan ideologi militan.
Kerajaan Beta juga komited untuk menambah baik infrastruktur, aset dan keperluan keselamatan di sempadan, serta memperkasakan kawalan agensi keselamatan di perbatasan negara melalui penubuhan Agensi Keselamatan Sempadan. Penyertaan negara dalam penempatan Pusat Serantau Pintas Mesej bagi memerangi keganasan dan jenayah rentas sempadan serta mempertingkatkan usaha membanteras pemerdagangan manusia telah mendapat pengiktirafan antarabangsa dan membantu memperbaiki kedudukan Malaysia dalam Laporan Tahunan Jabatan Negara Amerika Syarikat mengenai isu pemerdagangan manusia.
Beta mengucapkan tahniah kepada Mamanda Perdana Menteri di atas pencapaian-pencapaian negara sepanjang tahun lalu. Kejayaan mempengerusikan Sidang Kemuncak ASEAN yang telah merealisasikan Pembentukan Komuniti ASEAN 2015 adalah amat membanggakan.
Sidang-sidang kemuncak berkaitan yang telah berjaya menghimpunkan pemimpin-pemimpin utama dunia dalam satu forum telah menyerlahkan lagi peranan negara di persada antarabangsa.
Malaysia telah berjaya menduduki Kerusi Lembaga Eksekutif UNESCO bagi tempoh 2015 hingga 2019, mengekalkan kerusi anggota majlis Pertubuhan Maritim Antarabangsa buat kali keenam berturut-turut serta peningkatan daya saing negara dengan menduduki tempat ke-18 daripada 144 buah negara di dunia dalam Laporan Daya Saing Global 2015-2016. Ini mencerminkan keyakinan tinggi komuniti antarabangsa terhadap Malaysia.
Ahli-Ahli Yang Berhormat, ketidaktentuan ekonomi dan politik global khususnya kejatuhan harga minyak dan komoditi utama telah memberi kesan kepada pendapatan negara dan nilai Ringgit. Walau bagaimanapun, dengan asas-asas ekonomi yang kukuh, pengurusan dasar fiskal yang cekap dan disokong dengan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan atau GST mulai 1 April 2015, ekonomi negara kekal mapan berkembang pada kadar 5% pada tahun lepas dan dijangka berkembang 4% hingga 4.5% pada tahun ini.
Kerajaan Beta akan terus memberi perhatian kepada pengukuhan asas ekonomi bagi mengukuhkan lagi daya tahan ekonomi negara.
Kebergantungan terhadap hasil minyak dan gas telah dikurangkan kepada 21% berbanding lebih 40% pada tahun 2009. Ini telah dilaksanakan melalui transformasi ekonomi, dasar fiskal berhemat dan mempelbagaikan aktiviti ekonomi. Beta juga menyeru sektor swasta memainkan peranan lebih besar dalam menjana dan merancakkan pertumbuhan ekonomi negara.
Penyediaan Dana Mudahcara sebanyak RM20 bilion diharap dapat menggalakkan pelaburan dan pelaksanaan projek sektor swasta berskala besar dan berimpak tinggi.
Langkah mengurangkan defisit bagi mencapai sasaran fiskal berimbang pada tahun 2020 akan terus dilaksanakan. Penurunan defisit adalah penting bagi mengukuhkan pengurusan fiskal yang turut mempengaruhi penarafan kredit negara. Sekiranya penarafan kredit turun, pelaburan langsung asing akan berkurangan dan seterusnya menjejaskan pertumbuhan ekonomi serta menyebabkan kos pembiayaan perniagaan, perumahan dan pinjaman lain meningkat. Ini perlu dielakkan sama sekali.
Usaha Kerajaan Beta melaksanakan pengubahsuaian Bajet 2016 dengan menetapkan matlamat untuk memastikan pertumbuhan ekonomi terus kukuh serta memelihara kesejahteraan rakyat adalah tepat.
Sehubungan itu, Beta menyeru agensi-agensi Kerajaan, swasta, NGO dan rakyat bersama-sama menggembleng usaha, fikiran dan tenaga melaksanakan 11 langkah pengubahsuaian dan penstrukturan yang telah diperkenalkan. Marilah kita berdoa dan berusaha agar tahun-tahun mendatang, ekonomi negara akan bertambah baik untuk kemakmuran semua.
Pada hemat Beta, untuk terus kompetitif dalam ekonomi global yang saling berkait, Malaysia perlu memperluaskan akses pasaran bagi memastikan peningkatan eksport yang berterusan. Langkah Malaysia menyertai Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik, atau TPPA akan menyediakan pasaran yang lebih luas di 12 negara untuk komuniti perniagaan kita dengan anggaran Keluaran Dalam Negara Kasar lebih USD27 trilion. Kerajaan Beta telah dan akan sentiasa mempertahankan kepentingan negara termasuk agenda pembangunan ekonomi Bumiputera dalam sebarang rundingan perdagangan termasuk TPPA. Beta mengucapkan tahniah kepada semua Ahli Yang Berhormat kerana telah membahas serta meluluskan usul untuk Malaysia menyertai TPPA dalam sidang khas Parlimen yang lalu. Begitu juga kepada pasukan perunding daripada pelbagai kementerian dan agensi yang telah bekerja keras merundingkan terma-terma yang sebaik mungkin untuk kepentingan negara.
Tahun 2016 merupakan tahun pertama pelaksanaan Rancangan Malaysia Kesebelas yang bertemakan “Pertumbuhan Berpaksikan Rakyat”.
Beta menyeru semua pihak berusaha bersungguh-sungguh untuk menjayakan agenda pembangunan negara dengan memastikan setiap program dan projek yang telah dirancang dilaksanakan sepenuhnya bagi merealisasikan matlamat Malaysia menjadi negara maju yang inklusif dan mampan selaras dengan Wawasan 2020. Beta juga mengucapkan tahniah di atas kejayaan pelaksanaan hampir 12,000 projek di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh yang akan meningkatkan lagi kesejahteraan rakyat.
Ahli-Ahli Yang Berhormat, salah satu teras utama di bawah Rancangan Malaysia Kesebelas ialah Pertumbuhan Hijau melibatkan pengurangan intensiti karbon dalam ekonomi. Pendekatan agresif akan diambil untuk melaksanakan pelbagai inisiatif seperti peningkatan penjanaan tenaga boleh baharu, kecekapan tenaga, bandar-bandar bercirikan rendah karbon serta perluasan pengangkutan awam melalui Aliran Transit Massa dan penggunaan kenderaan elektrik.
Malaysia telah dikurniakan dengan keindahan alam semula jadi yang unik dan kepelbagaian budaya serta diiktiraf sebagai salah satu destinasi utama pelancong Islam. Kerajaan Beta akan merancakkan lagi industri pelancongan domestik melalui pembangunan dan promosi pakej- pakej pelancongan yang kreatif berasaskan alam semula jadi, kebudayaan dan warisan negara. Beta yakin industri pelancongan negara akan berkembang lebih pesat sekiranya alam semula jadi dipelihara, kebudayaan dikekalkan dan kebersihan persekitaran dipertingkatkan.
Ahli-Ahli Yang Berhormat, kerajaan Beta amat prihatin terhadap semua lapisan masyarakat khususnya kumpulan isi rumah berpendapatan 40% terendah dan 40% pertengahan. Kesejahteraan golongan ini akan
ditingkatkan melalui kenaikan kadar gaji minimum, perluasan jaringan perlindungan sosial, kemudahan pembiayaan mikro, peningkatan kemahiran serta perluasan program eRezeki dan eUsahawan. Menyedari kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi yang berdaya harap menjadi keperluan rakyat, Kerajaan Beta akan menyediakan internet jalur lebar berkelajuan lebih tinggi yang mampu dimiliki dan menyasarkan sekurang-kurangnya 95% kawasan berpenduduk mendapat akses kepada internet menjelang tahun 2020.
Demi kesejahteraan semua golongan pekerja di negara ini, Kerajaan Beta sentiasa berusaha melaksana inisiatif yang boleh dijadikan penanda aras dalam menentukan tahap gaji yang sesuai berdasarkan kelayakan, kemahiran dan produktiviti. Dengan ini kesejahteraan golongan pekerja dapat dipertingkatkan bagi membolehkan mereka menjalani kehidupan yang selesa.
Golongan yang memerlukan seperti kanak-kanak, warga emas dan orang kurang upaya tidak pernah dilupakan. Bagi kebajikan sosial, Kerajaan akan meneruskan pemberian elaun OKU, bantuan kepada kanak-kanak miskin, perlindungan sementara kepada golongan yang memerlukan serta bantuan perubatan kepada pesara dan orang awam.
Dalam hal ini, Beta menyeru pihak swasta dan badan bukan kerajaan supaya turut sama menyumbang dalam menyediakan kemudahan- kemudahan bagi golongan yang memerlukan.
Beta mengalu-alukan penubuhan Jawatankuasa Khas Bagi Menangani Kenaikan Kos Sara Hidup serta menambah bilangan barangan dalam senarai kenaan GST pada kadar sifar. Ini membuktikan Kerajaan Beta bersedia mendengar pandangan rakyat. Bagi melindungi pengguna, Beta menyeru supaya tindakan tegas diambil ke atas pihak-pihak yang mengeksploitasi harga dan mengambil untung berlebihan. Pengguna juga harus bijak berbelanja dan membezakan antara keperluan dan kehendak serta utamakan barangan tempatan.
Program pembinaan rumah mampu milik yang mencukupi dan berkualiti bagi rakyat yang memerlukan akan dipergiatkan. Setakat ini lebih 50% daripada sasaran pembinaan 1 juta rumah mampu milik dalam tempoh 2013 hingga 2018 telah siap dan dalam pelbagai peringkat pelaksanaan. Inisiatif-inisiatif lain termasuk Skim Pinjaman Tanpa Faedah rumah panjang di Sabah dan Sarawak, pembinaan rumah untuk masyarakat Orang Asli, generasi kedua FELDA, FELCRA, RISDA serta PPA1M dan PR1MA akan diteruskan. Skim Pembiayaan Deposit Rumah Pertama yang diperkenalkan dalam Bajet 2016 diharap dapat membantu rakyat berpendapatan rendah dan sederhana untuk membeli rumah pertama mereka.
Ahli-Ahli Yang Berhormat, potensi sektor agromakanan dapat diperkukuh dengan meningkatkan keupayaan pertanian berasaskan eksport. Oleh itu, Beta menyeru agar industri agromakanan ditransformasi supaya lebih moden, dinamik, kompetitif dan mampu menghasilkan pendapatan tinggi. Dengan daya tarikan ini, usaha-usaha hendaklah turut digerakkan untuk menarik minat golongan belia menceburi sektor berkenaan. Pada masa yang sama, daya saing sektor komoditi akan terus diperkukuhkan melalui insentif tanam semula kepada pekebun-pekebun
kecil, meningkatkan rantaian nilai produk serta aktiviti-aktiviti penyelidikan, pembangunan dan pengkomersialan.
Kerajaan Beta komited untuk terus meningkatkan kualiti hidup rakyat di luar bandar, masyarakat Orang Asli serta Bumiputera minoriti di Sabah dan Sarawak. Bagi maksud ini program transformasi luar bandar bertemakan “Membandarkan Luar Bandar” berpaksikan kepada keperluan dan kehendak rakyat akan dilaksanakan. Beta menyokong penuh usaha- usaha mempelbagaikan sumber pendapatan penduduk luar bandar melalui penerokaan subsektor baru yang bernilai tinggi, pembangunan industri hiliran serta penguasaan rantaian nilai dalam industri pekebun kecil dan pembangunan tanah terbiar. Pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo yang dinantikan sejak sekian lama oleh rakyat di Sarawak dan Sabah dijangka akan memacu pertumbuhan ekonomi di kedua-dua negeri tersebut.
Dalam masa yang sama, kesejahteraan rakyat di bandar tidak pernah dilupakan. Program dan projek bagi meringankan beban mereka seperti perumahan mampu milik, kemudahan pengangkutan awam yang lebih cekap dan bersepadu serta menaik taraf jalan raya, pengangkutan rel dan beberapa buah lapangan terbang akan dilaksanakan.
Perubahan profil demografi dan gaya hidup telah meningkatkan permintaan terhadap penjagaan kesihatan. Melalui Transformasi Sistem Kesihatan Negara, Kerajaan Beta akan meningkatkan akses kepada penjagaan kesihatan berkualiti dan ia akan diperkukuhkan lagi melalui Dasar Kesihatan Nasional dan Program Komuniti Sihat Perkasa Negara.
Sekali lagi Beta menyeru semua pihak kembali kepada prinsip mencegah lebih baik daripada mengubati serta amalkan gaya hidup dan makanan yang sihat.
Budaya bersukan ternyata dapat membantu meningkatkan kesejahteraan rakyat dan produktiviti negara. Oleh itu, momentum Hari Sukan Negara sebagai acara kemuncak gerakan massa Fit Malaysia perlu diteruskan. Beta turut menyokong pelaksanaan Pelan Pembangunan Sukan Jangka Panjang 2015 hingga 2023 dan Program Podium bagi melahirkan atlet profesional bertaraf dunia. Beta berharap penyertaan kontinjen negara di temasya Sukan Olimpik 2016 di Brazil akan melakar sejarah dengan memenangi pingat emas pertama buat negara.
Golongan wanita berperanan amat penting dalam pembangunan negara. Justeru, penyertaan wanita dalam pasaran pekerjaan perlu dipertingkatkan dengan mewujudkan persekitaran kerja yang lebih kondusif. Ruang dan peluang perlu terus disediakan untuk mereka menyertai pasaran kerja atau menceburi bidang keusahawanan dan meningkatkan potensi kerjaya termasuk memegang jawatan pengurusan tertinggi atau pembuat keputusan dalam organisasi.
Generasi belia merupakan aset dalam memacu pembangunan dan hala tuju negara pada masa hadapan. Justeru, pelaksanaan program kepimpinan, pembangunan bakat dan kemahiran serta kesukarelawan sehingga ke peringkat antarabangsa akan dipertingkatkan seperti terkandung dalam Dasar Belia Malaysia.
Pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia, PPPM
(2013 hingga 2025) kini melangkah ke gelombang kedua bermula tahun 2016 sehingga 2020. Beta menyeru supaya usaha-usaha diteruskan untuk meningkatkan kualiti pendidikan negara agar setanding dengan sistem
pendidikan terbaik dunia. Manakala, program seperti Program Fakulti Ketua Pegawai Eksekutif yang telah dilaksanakan di bawah PPPM
(Pendidikan Tinggi) 2015 hingga 2025 untuk melahirkan modal insan yang holistik diharap mampu meningkatkan kebolehpasaran graduan. Kerajaan Beta juga akan memastikan minat dan kecenderungan pelajar terus dikekalkan untuk memilih bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) supaya pembangunan modal insan tidak terencat dalam usaha mengukuhkan penyelidikan dan pembangunan serta inovasi berimpak tinggi negara. Dalam memacu ke arah negara maju berpendapatan tinggi, Malaysia tiada pilihan selain menjadikan sains, teknologi dan inovasi (STI) sebagai asas pembangunan ekonomi baru selaras dengan Pelan Induk STI Negara yang akan digubal.
Ahli-Ahli Yang Berhormat, Beta ingin mengingatkan rakyat jelata agar sentiasa memelihara keharmonian dan kerukunan hidup bermasyarakat. Sehubungan itu, cubaan segelintir pihak memainkan sentimen perkauman serta menyalahgunakan media sosial untuk menyebarkan kandungan berbaur hasutan, fitnah dan fahaman ekstremis perlu dikekang dan ditangani dengan segera oleh agensi-agensi yang berkaitan. Kelewatan bertindak berhubung isu-isu yang melibatkan perpaduan dalam masyarakat pelbagai kaum boleh menyebabkan konflik dan perbalahan yang lebih besar.
Beta menyokong penuh segala inisiatif bagi mendaulatkan Islam sebagai agama Persekutuan dan dalam masa yang sama agama-agama lain boleh diamalkan dengan bebas dan damai di negara ini. Beta berharap langkah-langkah ke arah memperkukuhkan institusi agama dan kecekapan pelaksanaan undang-undang pentadbiran agama Islam melalui pemerkasaan mahkamah syariah dapat disegerakan. Isu-isu keagamaan perlu dirujuk kepada pihak berautoriti agama dan tidak wajar dibuat tafsiran secara individu atau berkelompok kerana boleh mencetuskan kecelaruan, ketegangan dan konflik dalam masyarakat.
Ahli-Ahli Yang Berhormat, Beta mengalu-alukan usaha transformasi Parlimen yang telah diusulkan oleh Yang di-Pertua Dewan Rakyat yang akan dibentangkan dalam persidangan kali ini. Beta berharap Ahli-Ahli Yang Berhormat dapat menerima pindaan ini dan menjadikan institusi Parlimen lebih kukuh serta berkesan dalam melaksanakan fungsinya sebagai salah satu cabang pentadbiran negara.
Usaha-usaha mentransformasikan Perkhidmatan Awam ke arah lebih berpaksikan rakyat, meningkatkan produktiviti dan kecekapan akan terus dilaksanakan. Setakat ini lebih daripada 80% perkhidmatan Kerajaan telah pun ditawarkan secara dalam talian untuk meningkatkan kecekapan demi kemudahan rakyat. Pada masa yang sama, Beta juga ingin menyeru anggota-anggota Perkhidmatan Awam agar sentiasa melindungi kerahsiaan maklumat Kerajaan dan mematuhi undang-undang serta peraturan yang berkuat kuasa bagi menjamin kestabilan negara.
Jalinan kerjasama dan pendekatan Strategi Lautan Biru Kebangsaan dalam pelaksanaan program atau projek misalnya Program Jiwa Murni, rondaan dan penguatkuasaan bersama, perkongsian aset dan kemudahan antara agensi adalah suatu langkah yang cukup berkesan dalam meningkatkan kecekapan, memberi impak tinggi dan menjimatkan kos. Oleh itu, ia perlu dipertingkatkan lagi.
Dalam menjayakan semua perancangan dan dasar negara, integriti dan urus tadbir yang terbaik hendaklah terus dipertingkatkan. Beta yakin ini akan dapat menangani persepsi negatif berkaitan rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa. Di samping itu, semua pihak perlu mengamalkan nilai-nilai murni dan budaya hidup berintegriti.
Ahli-Ahli Yang Berhormat, seperti dalam titah Beta sebelum ini, sekali lagi Beta menyeru Ahli-Ahli Yang Berhormat dan rakyat keseluruhannya supaya bersatu serta sayangilah negara ini dengan sentiasa menumpahkan taat setia yang tidak berbelah bahagi, mempertahan dan melindunginya. Beta juga berharap semua Ahli Yang Berhormat berhentilah berpolitik untuk kepentingan sempit kerana ia telah berlarutan sejak sekian lama di mana ia melelahkan rakyat dan Kerajaan.
Berikanlah contoh teladan yang baik kepada rakyat dengan saling bergandingan dalam melahirkan buah fikiran yang bermanfaat demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara yang berterusan. Dalam negara demokrasi berperlembagaan, kita boleh berlainan pandangan.
Raikanlah ruang tersebut, namun bukan saling menjatuhkan, bermusuhan dan fitnah-memfitnah yang akhirnya menjerumus negara kepada kehancuran. Elakkan juga daripada memburuk-burukkan negara di mata masyarakat antarabangsa.
Beta menghargai sumbangan semua pihak, terutama anggota Perkhidmatan Awam serta pengorbanan Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia, agensi-agensi pertahanan awam serta penguat kuasa dan terutama sekali rakyat jelata dalam menjamin kedaulatan, keselamatan, keamanan dan kemajuan negara yang hasilnya kita nikmati sekarang.
Begitu juga kepada seluruh rakyat yang telah menumpahkan taat setia dan turut sama menyumbang kepada kemakmuran negara kita yang bertuah ini.
Akhir titah, Beta dan Raja Permaisuri Agong berdoa ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala semoga Malaysia kita yang tercinta terus maju dan makmur serta rakyatnya mendapat taufik dan hidayah, sejahtera, bersatu padu dan sentiasa hidup aman sentosa di bawah lindungan-Nya.
Sekian, Wabillahi Taufik Walhidayah, Wassalamualaikum Warahmatullaahi Wabarakaatuh.
Tuan Yang di-Pertua
Ahli-ahli Yang Berhormat, Persidangan Parlimen ditangguhkan sekarang.
[Dewan ditangguhkan pada pukul 11.55 pagi]
Tuan Yang di-Pertua
[Doa selamat dibaca oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Sahibus Samahah Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri] [Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong berangkat meninggalkan Majlis Parlimen]