Katalog Hansard
[Timbalan Yang di-Pertua (Datuk Haji Ismail bin Haji Mohamed Said) **mempengerusikan Mesyuarat****]
1. Dato' Wira Mohd Johari bin Baharom [Kubang Pasu] minta Menteri Pertahanan menyatakan tentang projek pembinaan rumah veteran ATM yang disasarkan oleh kementerian dan bilakah projek ini akan mencapai matlamat Strategi Lautan Biru Nasional
(SLBN) kerana ramai veteran ATM yang tidak mempunyai rumah sendiri dan ada yang masih menyewa.
Menteri Pertahanan - Dato’ Seri Hishammuddin bin Tun Hussein
Tuan Yang di-Pertua, kerajaan sentiasa prihatin dalam membela nasib golongan veteran ATM yang telah menyumbang bakti dan berkorban demi negara. Pelbagai usaha dan program telah dilaksanakan bagi menjaga kebajikan dan juga memberi pengiktirafan di atas segala jasa dan pengorbanan yang telah mereka curahkan kepada negara.
Usaha ini dilaksanakan melalui penggemblengan pelbagai agensi kerajaan di bawah Kementerian Pertahanan seperti Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM, Rejimen Askar Jurutera Diraja dan Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT). Di samping itu kerjasama erat turut dijalinkan yang melibatkan pelbagai kementerian seperti Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
Pada masa yang sama, pihak kementerian sentiasa menjalinkan kerjasama erat dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dengan izin yang berkait dengan veteran ATM seperti Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia.
Keprihatinan kerajaan dalam menjaga kepentingan dan suara veteran ATM diteruskan dengan pelantikan Yang Berhormat Senator Laksamana Tan Sri Dato’ Sri Mohd Anwar bin Haji Mohd. Nor, selaku Presiden Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia sebagai Senator pada 23 April 2015 ini. Pelantikan ini memberikan peluang kepada suara dan pandangan veteran ATM dapat dibawa dan didengari di peringkat tertinggi badan penggubal undang-undang negara.
Tuan Yang di-Pertua, melalui Mesyuarat Strategi Lautan Biru Kebangsaan yang dipengerusikan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri pada 20 Jun 2012 telah memutuskan supaya Strategi Lautan Biru Kebangsaan juga dibangunkan bagi membantu veteran ATM menyesuaikan diri dengan kehidupan awam serta dapat terus menyumbang kepada negara.
Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM telah dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan program 1Malaysia Veterans Recognition Program, dengan izin di bawah Strategi Lautan Biru (NBOS7) khusus untuk menjaga kebajikan serta menambah baik taraf sosioekonomi golongan veteran serta keluarga mereka.
Menteri Pertahanan - Dato’ Seri Hishammuddin bin Tun Hussein
Tuan Yang di-Pertua, terdapat tujuh inisiatif di bawah program 1Malaysia Veterans Recognition Program ini dan antaranya ialah Program Membaik Pulih Rumah Veteran 1Malaysia. Projek ini akan mengutamakan warga ATM yang betul-betul daif, berpendapatan rendah dan miskin.
Tahun 2012 merupakan tahun pertama pelaksanaan program pembaikan pulih rumah veteran 1Malaysia di mana sebanyak 49 buah rumah telah disiapkan yang melibatkan 27 unit bina baru dan 22 unit baik pulih rumah di seluruh Malaysia. Projek ini melibatkan perbelanjaan keseluruhan sebanyak RM1.39 juta. Pada tahun 2013 pula, sejumlah 200 buah rumah telah disiapkan yang melibatkan 130 unit bina baru dan 70 unit baik pulih rumah di seluruh Malaysia dengan melibatkan kos keseluruhan sebanyak RM6.7 juta. Manakala pada tahun 2014, sejumlah 171 buah rumah telah disiapkan yang melibatkan 50 unit bina baru, 121 unit baik pulih rumah pun telah dilaksanakan.
Projek bagi tahun 2014 ini melibatkan kos perbelanjaan keseluruhan sebanyak RM2.9 juta. Bagi tahun ini, tahun 2015 pula sebanyak 84 buah rumah telah dirancang untuk disiapkan yang melibatkan peruntukan perbelanjaan sebanyak RM2.86 juta. Ianya melibatkan sebanyak 52 unit bina baru, 32 unit baik pulih rumah di seluruh Malaysia.
Walau bagaimanapun, pihak kementerian akan sentiasa berusaha bagi menambah jumlah rumah untuk dibina dan dibaik pulih mengikut kemampuan kita bagi memastikan lebih ramai pemohon mendapat nikmat serta faedah daripada program ini, insya-Allah.
Dato’ Wira Mohd. Johari bin Baharum - Kubang Pasu
Terima kasih Yang Berhormat Menteri yang telah memberi jawapan yang panjang lebar berhubung dengan masalah perumahan yang dihadapi oleh veteran kita.
Kita tahu bahawa negara kita aman hari ini ialah kerana usaha peranan yang dimainkan oleh bekas-bekas tentera di negara kita dan kita dapat hidup dalam keadaan aman damai hari ini. Ini adalah sebahagian besar daripada usaha mereka dan kita tahu sebahagian besar daripada veteran-veteran kita hari ini berada dalam keadaan yang daif, ada yang cacat anggota dan sebagainya untuk menjalankan kehidupan mereka seharian.
Selain daripada program perumahan, apakah program-program lain bagi mengiktiraf pengorbanan mereka yang telah diusahakan oleh Kementerian Pertahanan demi untuk menjaga kebajikan mereka yang telah banyak berjasa kepada negara kita?
Terima kasih.
Dato' Seri Hishamuddin bin Tun Hussein
Terima kasih Yang Berhormat Kubang Pasu. Soalan asal tadi berkisar kepada inisiatif kita berhubung kait dengan perumahan. Ini tidak bermakna bahawa kita tidak ada pendekatan-pendekatan lain untuk menentukan kebajikan dan taraf sosioekonomi veteran ATM sentiasa terpelihara dan terjaga. Di antara inisiatif-inisiatif lain selain daripada perumahan tadi, kalau saya boleh ringkaskan, termasuk mewujudkan Pusat Sehenti Veteran 1Malaysia. Berfungsi sebagai penyebaran maklumat serta urusan bantuan kebajikan supaya apa jua saluran bantuan yang kita berikan sampai kepada sasarannya secara efektif.
Kedua, Program Penempatan Kerja untuk veteran, di mana kita membantu penjodohan dan penempatan pekerjaan untuk veteran ATM dalam sektor awam dan swasta selepas menamatkan perkhidmatan melalui kerjasama antara agensi kerajaan dan juga agensi swasta. Ini melibatkan pihak-pihak berkepentingan yang lain, termasuk swasta untuk memastikan bahawa mereka juga bertanggungjawab seperti Yang Berhormat sebut tadi.
Membela mereka yang banyak telah pun berkorban untuk memastikan negara kita berada dalam keadaan yang stabil dan dalam keadaan yang selamat pada hari ini.
Ketiga, bantuan keusahawanan. Program ini diwujudkan untuk memberi latihan, pinjaman mikro dan nasihat kepada veteran ATM yang berminat dalam bidang keusahawanan melalui kerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan dan juga bersama-sama dengan UKAS. Ada lagi inisiatif- inisiatif lain, termasuk usaha untuk meningkatkan penerimaan latihan PERHEBAT oleh industri. Program ini diwujudkan bagi mempertingkatkan taraf kursus yang ditawarkan oleh PERHEBAT melalui kerjasama dengan EPU, Jabatan Pembangunan Kemahiran atau badan-badan profesional yang lain untuk memperkukuhkan kelayakan veteran yang memohon kerja di sektor swasta.
Dato' Seri Hishamuddin bin Tun Hussein
Program Keluarga Veteran 1Malaysia pula merupakan satu program Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM yang telah bekerjasama dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dalam menawarkan bantuan keusahawanan kepada keluarga veteran dan antara lain juga Kad Privilege 1Malaysia. Di mana bagi program ini, Jabatan Hal Ehwal ATM telah bekerjasama dengan Kementerian Kewangan dengan KPDNKK melalui pengiktirafan kad bekas tentera sebagai kad privilege.
Semua ini di antara inisiatif-inisiatif yang sedia ada yang akan menambah nilai kepada pendekatan kita untuk memastikan usaha inisiatif perumahan tadi berterusan tetapi sosioekonomi dan masa depan veteran-veteran kita sentiasa terbela. Saya beri jaminan kepada Dewan ini, usaha ini akan diteruskan tetapi bersyarat dan juga terhad kepada kemampuan yang sedia ada.
Akan tetapi dengan pendekatan NBOS tadi, pendekatan di mana kita tidak wujud di dalam silo, pendekatan di mana kita melibatkan seramai mungkin agensi dan kementerian-kementerian lain yang boleh membantu. Saya cukup yakin apa yang ada sekarang ini boleh lebih berkesan pada masa-masa yang akan datang.
Tuan Laksamana Pertama (B) Haji Mohamad Imran bin Abd Hamid - Lumut
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Yang Berhormat Menteri, saya ingin memaklumkan bahawa di peringkat negeri juga ada program untuk membantu veteran-veteran ini, khususnya di Perak. Yang Amat Berhormat Menteri Besar Perak menawarkan 7,000 lot tanah untuk pembinaan rumah veteran ini sejak 2011. Malangnya, sehingga sekarang belum nampak lagi, belum direalisasikan lagi. Oleh yang demikian, soalan saya, bolehkah pihak kementerian campur tangan dalam hal ini untuk memohon kepada Menteri Besar Perak mempercepatkan proses perolehan tanah tersebut, seterusnya membina rumah- rumah untuk veteran kita. Terima kasih.
Dato' Seri Hishamuddin bin Tun Hussein
Terima kasih Yang Berhormat Lumut. Saya boleh bantu dan mungkin hari ini merupakan hari yang sesuai untuk kita melihat jauh ke hadapan. Lebih-lebih lagi dalam konteks perumahan kerana pembentangan Rancangan Malaysia Kesebelas untuk lima tahun ini memberikan kita peluang. Bukan saja bekerjasama dengan agensi-agensi yang sedia ada dan kementerian-kementerian sedia ada, saya setuju dengan Yang Berhormat.
Bekerjasama dengan kerajaan-kerajaan negeri, khususnya untuk memastikan sesuatu blueprint untuk sama ada 5 tahun, 10 tahun, 15 tahun yang melibatkan semua pihak yang boleh membantu. Saya sedia maklum bahawa Yang Amat Berhormat Menteri Besar Perak telah pun mengenal pasti satu kawasan dekat Lumut itu untuk perumahan pihak veteran dan juga ahli anggota kita. Akan tetapi yang itulah saya kata, mungkin lepas RMKe-11 ini kita dapat memperincikan cara bagaimana semua pihak yang berkepentingan ini boleh bekerjasama dengan satu matlamat iaitu untuk memastikan bahawa nasib para veteran, warga veteran kita terbela di semua peringkat.
Datuk Wira Haji Ahmad bin Haji Hamzah - Jasin
Terima kasih Tuan Yang di- Pertua bagi saya peluang, terima kasih Yang Berhormat Menteri. Kita sebenarnya mempunyai seramai lebih kurang 360 ribu veteran yang telah berkhidmat kepada negara.
Jadi, mereka sebenarnya mempunyai kepakaran daripada latar belakang bukan saja daripada persenjataan, letupan, kerahsiaan, perisikan. Adakah pihak kerajaan sentiasa membuat pemantauan sama ada mereka yang sedang berkhidmat ataupun telah pun meninggalkan perkhidmatan, tentang apa juga aktiviti-aktiviti dan pergerakan mereka. Oleh kerana kita takuti mereka ini akan menjadi beban pada kita pada akan datang. Janganlah hendaknya kita hanya mengambil tindakan setelah perkara itu berlaku.
Seterusnya, apakah perancangan strategik jangka panjang kerajaan dalam RMKe- 11 bagi memastikan supaya pembelaan kepada veteran-veteran ini sentiasa konsisten dan kita dapat lihat banyak mereka-mereka yang sangat memerlukan bantuan kerajaan. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Dato' Seri Hishamuddin bin Tun Hussein
Terima kasih Yang Berhormat Jasin.
Satu saranan yang amat tepat sekali dan kita telah pun berusaha ke arah itu. Saya sendiri telah merasmikan Mesyuarat Tahunan Persatuan Veteran Risik kita. Kalau hendak cakap fasal kemahiran dalam konteks risik dan satu cara supaya mereka dapat bersama-sama membantu dalam ancaman-ancaman baru yang kita hadapi ini ialah untuk engage dan berdepan dengan mereka dan mengupayakan mereka, empower them, dengan izin. Ini akan merupakan sesuatu pendekatan yang memerlukan kerjasama semua pihak.
Dato' Seri Hishamuddin bin Tun Hussein
Semua agensi dan saya sudah arah pegawai-pegawai di dalam kementerian untuk lebih inklusif termasuk melibatkan mereka yang ada kemahiran special skills ini.
Kemahiran-kemahiran yang khusus, yang boleh membantu kita berhadapan dengan perkara-perkara supaya mereka tidak terjebak kepada perkara-perkara yang negatif, yang boleh menyusahkan negara dan mungkin dieksploitasikan oleh pihak-pihak tertentu.
Perancangan kita untuk veteran di dalam Rancangan Malaysia Kesebelas Yang Berhormat, mungkin kita boleh tunggu Yang Amat Berhormat bentangkan RMKe-11 hari ini.
2. Tuan Lim Kit Siang [Gelang Patah] minta Menteri Pendidikan menyatakan piawai perbandingan yang digunakan oleh timbalannya yang mengatakan bahawa universiti-universiti di Malaysia “tidak jauh dari menjadi institusi pendidikan bertaraf dunia seperti Oxford Universiti” sedangkan tiada mana-mana universiti tempatan yang berjaya disenaraikan sebagai 100 buah universiti terbaik di dunia.
Menteri Pendidikan II - Dato' Seri Haji Idris Jusoh
Terima kasih kepada Yang Berhormat Gelang Patah yang cakna dan minat dalam pendidikan dan kecemerlangan universiti-universiti tempatan di peringkat global. Ini saya jangka ialah hubungan daripada kenyataan yang saya buat di USM pada 18 April. Saya mengatakan bahawa sekiranya universiti tempatan terus berusaha seperti yang sedia ada, dalam masa 30 tahun, 40 tahun ataupun 50 tahun akan datang, kita boleh menandingi universiti terkemuka dunia seperti Oxford, Harvard dan Cambridge. Saya berani berkata demikian kerana kalau kita lihat dari segi ranking universiti kita, QR Ranking ataupun Quacquarelli Symonds Ranking universiti kita, kita lihat peningkatan semua universiti penyelidikan kita, UM, UKM, USM, UPM, UTM.
Sebagai contoh, UM meningkat daripada 167 tahun 2003 kepada 151 pada tahun 2004 dan UM merupakan universiti terbaik negara-negara OIC. Tidak kurang juga UKM yang meningkat daripada 269 ke 259. Saya tidak perlu baca yang seterusnya dan itu dari segi ranking.
Menteri Pendidikan II - Dato' Seri Haji Idris Jusoh
Daripada segi bidang pula, daripada segi ranking by subject kita lihat peningkatan.
Ini yang terakhir pada tahun ini, angka tahun ini. Daripada 19 bidang tahun lalu, sekarang telah meningkat kepada 23 bidang yang diajar dalam universiti kita merupakan yang ke-100 terbaik dalam dunia. USM dalam bidang sains alam sekitar, angka ke-31 dalam dunia. UM, pengajian pembangunan. Ini hanya keluar pada tahun ini, ke-32 dalam dunia. UPM, bidang Pertanian, ke-54 dalam dunia. Computer science UM dan USM, top ke-100 dalam dunia.
Dalam bidang engineering sebenarnya kejuruteraan, UM, USM, UTM dalam bidang sivil, mekanikal, chemical dan electrical merupakan yang terbaik ke-100 dalam dunia. Kalau campur lagi UKM, UPM ada 150 terbaik di dunia. Dalam bidang farmasi dan farmakologi USM merupakan yang ke-100 terbaik dalam dunia. Itu daripada segi subject ranking. Kita pergi pula kepada penerbitan. Laporan terakhir Schema Good Journal mengatakan baru-baru ini bahawa kita telah mengatasi dalam jurnal terindeks, setelah mengatasi Singapura. Ini dahulunya memang Singapura menjadi negara yang- di mana kita sebagai benchmarking kita tetapi pada tahun 2013, kita mengeluarkan 23,190 artikel dan telah mengatasi negara Singapura daripada segi penerbitan saintifik jurnal dan petikan kita, citation kita pada tahun 2005 ke tahun 2012 meningkat sebanyak empat kali ganda. Pergi pula kepada tenaga pengajar. Kalau kita lihat baru-baru ini empat tenaga pengajar kita telah diiktiraf oleh Thomson Reuters sebagai minda saintifik paling berpengaruh di dunia ataupun the most influential scientific mind. Tidak kurang pula 559 orang, saya ada senarai nama di sini, pensyarah-pensyarah kita yang graduate ataupun menjadi fellow daripada 20 universiti terbaik di dunia, di mana 101 datang daripada Cambridge. Sebanyak 93 daripada Imperial College, 14 daripada Harvard, 74 daripada Oxford dan banyak lagi daripada MIT, Stanford, Berkeley, John Hopkins dan lain-lain lagi. Dengan adanya Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia
(Pendidikan Tinggi) yang telah dilancarkan pada bulan April baru-baru ini, insya-Allah kita akan melihat ia akan membantu kecemerlangan universiti-universiti kita seluruh negara.
Tuan Lim Kit Siang - Gelang Patah
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Adakah Yang Berhormat Menteri bersetuju bahawa sungguhpun kita ucap tahniah kepada para
Tuan Lim Kit Siang - Gelang Patah
akademik yang dapat kecemerlangan dan universiti-universiti dalam subjek-subjek tetapi kalau kita mahu mencontohi Oxford University, kita perlu dapat ranking bukan sahaja dalam satu ranking sahaja ialah QS tetapi semua rank yang ada. Times Higher Education, Chiao Tung University atau Best Global University dan world center. Ini apa yang Oxford, Cambridge dan universiti-universiti yang terbaik, mereka ada diiktiraf oleh semua ranking dan bukan sahaja di Malaysia yang menggunakan satu QS Ranking sahaja dan baru-baru ini OECD dalam satu ranking mengenai sekolah-sekolah di dunia yang menempatkan Malaysia di kedudukan ke-52 daripada 76 negara.
Dengan kedudukan ini yang bottom of the world dan bukan ini satu petunjuk bahawa tak mungkin selain daripada ada revamp dalam sistem pendidikan kita. Kita ada universiti-universiti yang terbaik oleh kerana basis tiada dan sehingga baru-baru ini, Sultan Johor pun ada cadang bahawa perlu mungkin untuk mencontohi Singapura mengenai menggunakan Inggeris sebagai medium sekolah. Dengan itu, adakah Yang Berhormat setuju bahawa apa yang mustahak ialah untuk mengembalikan dan memastikan academic freedom dan autonomy university dan nampaknya ini tidak diberi perhatian yang serius...
[Dewan riuh]
Beberapa Ahli
Soalan, soalan.
Tuan Lim Kit Siang - Gelang Patah
...Dan dalam tiga minggu, ASEAN the Times Higher Education, Asia University Rankings terbaik ke-100 di Asia, adakah Yang Berhormat Menteri anggap bahawa mungkin Malaysia akan ada dalam group ini?
Timbalan Yang di-Pertua - Datuk Haji Ismail bin Haji Mohamed Said
Ya, sila.
Dato’ Seri Haji Idris Jusoh
Terima kasih Yang Berhormat Gelang Patah. Kerana kita amat sedar bahawa ranking bukan hanya QS Ranking, kita amat sedar ada THE, ada U21 dan sebagainya tetapi kalau kita lihat, dia bermula dengan QS Ranking. Kalau kita sebagai anak-anak pun mula-mula kita naik anak kuda lepas itu kita naik kuda bukan ibu kudalah, kuda kemudian baru kita boleh berjalan cepat. Jadi kalau kita lihat perkembangan dan kalau kita lihat THE ini memberi penekanan kepada research dan citation penerbitan.
Kita lihat jelas, yang saya katakan tadi bahawa kita telah mula mengatasi Singapura dalam penerbitan dan tidak mungkin kita akan mengatasi mereka dalam ranking-ranking yang lain juga dan insya-Allah kita akan masuk dalam THE ini. Mungkin tidak akan ketinggalan untuk mengambil peranan dalam THE.
Bagus juga Yang Berhormat menyentuh tentang laporan OECD baru-baru ini yang mengatakan kita 52 daripada 76. Sebenarnya OECD menggunakan fakta tahun 2012, menggunakan keputusan PISA tahun 2012 dan kita tahun lalu baru kita ambil PISA baru tahun 2014, jadi keputusan itu akan keluar tidak berapa lama lagi, mungkin tahun depan.
Jadi, menggunakan fakta tahun 2012 kerana tahun 2013 kita mengadakan blueprint yang baru pada 2013. Jadi tidak adil untuk kita membuat penghakiman terhadap sistem pendidikan kita menggunakan fakta 2012 dan itu perlu dikatakan dengan betul dan saya katakan kita telah mengatasi Singapura dan tidak ada sebabnya dalam masa 30 tahun hingga 40 tahun lagi kita boleh mengatasi, *we could be the best in the world.
[Tepuk]*
Datuk Seri Reezal Merican - Kepala Batas
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Soalan tambahan saya, pertama sekali saya nak ucapkan tahniah kerana komitmen Kementerian Pendidikan dalam meneruskan agenda Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2015. Cuma soalan tambahan kepada apa yang ditanya awal tadi adalah baru-baru ini Khazanah ada memperkenalkan pelaburan sukuk untuk pendidikan yang mana terbitan awalnya adalah RM100 juta, jumlah keseluruhan totalnya dianggarkan RM1 bilion bagi tujuan untuk membangun sekolah-sekolah amanah.
Apakah tidak dilihat kewajaran yang sama boleh digunakan roadmap ini untuk dilakukan kepada peringkat pengajian tinggi terutamanya research university, the five research university dalam negara kita agar mereka mempunyai leverage kewangan untuk mencapai universiti yang berstatus dan berkelas dunia. Terima kasih.
Dato’ Seri Haji Idris Jusoh
Terima kasih Yang Berhormat Kepala Batas. Kita boleh melihat contoh-contoh demikian tetapi dengan jelas kita melihat universiti kita masih mempunyai aset-aset yang tidak digunakan sepenuhnya, dengan izin to unlock the asset that they have. Katakanlah Universiti Malaya di tengah bandar, UKM, UPM juga mempunyai aset-aset yang hebat. Jadi, ada banyak cara yang mereka boleh laksanakan untuk seperti saya katakan tadi to unlock the asset juga untuk menggunakan kepakaran yang berada
Dato’ Seri Haji Idris Jusoh
pada mereka untuk menjana pendapatan. Sememangnya dalam blueprint baru-baru ini dalam PPPM (PT) baru-baru ini kita jelaskan bahawa pada masa-masa yang akan datang ini, universiti-universiti kita akan lebih mampu untuk berdiri di atas kaki mereka sendiri.
Terima kasih.
3. Tuan Khoo Soo Seang [Tebrau] minta Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan menyatakan adakah kementerian bercadang membuat pindaan undang-undang yang berkaitan agar memberi kuasa lebih besar kepada Menteri mengambil tindakan tegas terhadap pemaju-pemaju bagi projek-projek perumahan yang tidak dapat disiapkan dalam tempoh masa yang munasabah agar para pembeli tidak menjadi mangsa kepada pemaju-pemaju yang tidak bertanggungjawab itu.
Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan - Datuk Abd. Rahman Dahlan
Terima kasih Yang Berhormat dan Tuan Yang di-Pertua. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, kementerian telah membuat pindaan Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 atau Akta 118 pada tahun 2011 dan telah diwartakan pada tahun 2012 bagi menambah baik aspek perundangan dan penguatkuasaan ke atas syarikat pemaju yang tidak bertanggungjawab termasuklah tindakan terhadap pemaju yang menyebabkan sesuatu kemajuan itu terbengkalai. Antara pindaan yang telah dibuat adalah seperti berikut:
(i) peruntukan baru iaitu seksyen 18A telah ditambahkan agar tindakan pendakwaan dapat diambil terhadap pemaju perumahan berlesen yang mengabaikan pemajuan perumahan selama tempoh enam bulan secara berterusan atau menyebabkan suatu pemajuan perumahan terbengkalai;
Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan - Datuk Abd. Rahman Dahlan
Kesalahan ini boleh dikenakan denda tidak kurang daripada RM250,000 tetapi tidak melebihi RM500,000 atau hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
(ii) peningkatan dalam deposit pemajuan perumahan daripada RM200,000 kepada 3% daripada jumlah anggaran kos pembangunan fizikal ke dalam akaun pemajuan perumahan;
(iii) pembeli rumah diberi hak ataupun pilihan untuk membatalkan perjanjian jual beli atau SPA sekiranya tiada kemajuan di tapak dalam tempoh masa enam bulan dari tarikh SPA ditandatangani;
(iiii) meluaskan skop Tribunal Tuntutan Pembeli Rumah (TTPR) bagi membolehkan pembeli rumah membuat tuntutan ganti rugi ke atas pemajuan tanpa lesen;
(iiv) menaikkan kadar penalti maksimum daripada RM20,000 kepada RM50,000 bagi kesalahan yang dibuat oleh pemaju contohnya pemajuan tanpa lesen dan ingkar award yang dikeluarkan oleh tribunal; dan
(iv) definisi pemaju perumahan telah diperluaskan merangkumi pelikuidasi (liquidator) supaya kewajipan pemaju perumahan dapat dipertanggungjawabkan kepada pihak pelikuidasi.
Melalui pindaan-pindaan Akta 118 ini, penguatkuasaan terhadap pemaju yang tidak bertanggungjawab dapat dijalankan oleh kementerian atau secara khususnya Jabatan Perumahan Negara dan industri perumahan secara keseluruhannya dapat diperkasakan.
Walau bagaimanapun, pindaan-pindaan tersebut masih belum dikuatkuasakan kerana perlu dikuatkuasakan bersekali dengan Akta Pengurusan Strata 2013 iaitu Akta 757 dan Akta Hak Milik Strata Pindaan 2013 iaitu Akta 318. Ini adalah selaras dengan aliran baru proses pengeluaran hak milik strata serentak dengan milikan kosong atau vacant possession. Sehubungan dengan itu semasa milikan kosong atau vacant possession itu atau kunci diserahkan kepada pembeli rumah hak milik strata perlu diserahkan pada masa yang sama.
Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan - Datuk Abd. Rahman Dahlan
Oleh itu, ketiga-tiga pindaan Akta 318, Akta 118 dan Akta 757 ini perlu dikuatkuasakan secara serentak dan sehingga kini perundingan mengenai penguatkuasaan Akta 757 dengan semua kerajaan negeri telah pun selesai dijalankan oleh kementerian dan seterusnya semua kerajaan negeri perlu membentangkan satu resolusi Dewan Undangan Negeri bagi memberi kuasa kepada Menteri KPKT untuk melantik Pengerusi, Timbalan Pengerusi, anggota setiausaha, pegawai dan kakitangan tribunal pengurusan strata. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Tuan Khoo Soo Seang - Tebrau
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Saya percaya Yang Berhormat Menteri tahu bahawa kes yang saya rujukkan ialah kes rumah pangsa Kong Sun di Taman Mount Austin. Jadi kes itu saya dapati kerajaan seolah-olah macam harimau yang tidak bergigi walaupun kita sudah cuba dengan sedaya-upaya tetapi rumah itu tidak siap lebih 10 tahun.
Jadi saya hendak tanya Yang Berhormat Menteri sekiranya pindaan itu dilaksanakan bolehkah dikuatkuasakan ke atas kes rumah pangsa itu. Walaupun pemaju sekarang sedang membina tetapi kemajuannya sangat lambat dan mereka tidak boleh ikut jadual yang mereka janjikan itu. Apakah tindakan yang boleh diambil terhadap pemaju dan sama ada pembeli boleh dapat pampasan atau tidak selepas projek disiapkan. Sekian, terima kasih.
Datuk Abd. Rahman Dahlan
Terima kasih Yang Berhormat. Saya faham ini adalah satu isu yang selalu dibawa oleh Yang Berhormat Tebrau dalam Dewan yang mulia ini Tuan Yang di-Pertua. Untuk makluman kalau akta ini nanti dikuatkuasakan saya kira kalau bersabit kesalahan kita akan mengambil tindakan yang berpatutan. Akan tetapi saya ingin maklumkan kepada Yang Berhormat Tebrau tentang projek status projek perumahan terbengkalai Taman Mount Austin, Johor Bahru, Johor ini.
Untuk makluman, Jabatan Perumahan Negara telah membuat lawatan dan pemeriksaan di tapak projek pada 8 April 2015 untuk memantau kemajuan kerja tapak pembinaan dan memastikan pemaju menyiapkan kerja mengikut jadual program kerja yang telah dibuat. Berdasarkan pemeriksaan ini Jabatan Perumahan Negara telah mendapati bahawa kemajuan kerja di tapak adalah seperti berikut. Blok lapan dan blok sembilan telah pun selesai. Dalam proses untuk mendapatkan CFO dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia telah memberikan sokongan, Tenaga Nasional Berhad telah memberi sokongan, Jabatan Landskap Majlis Bandaraya Johor Bahru juga telah memberikan sokongan. Itu untuk blok 8 dan blok 9. Selesai.
Manakala untuk blok 4 dan blok 6 yang dijangka akan selesai pada Disember 2015 tahun ini. Manakala untuk blok satu dan dua akan diselesaikan pada Disember 2016. Untuk blok tiga, blok 5 dan blok 7 yang menjadi masalah mungkin kepada pembeli dan juga Yang Berhormat ialah blok 3, blok 5 dan blok 7 ini tidak akan dibina oleh pemaju seperti mana Yang Berhormat tahu dan pembeli blok 3, blok 5 dan blok 7 akan diberikan unit-unit yang tidak terjual dalam blok 8. Jadi 147 pembeli untuk blok 3, blok 5 dan blok 7 yang tidak akan dibina ini nanti akan dipindahkan ke blok 8. Kita telah berbincang dengan kerajaan negeri untuk menyelesaikan isu ini dalam masa yang terdekat ini. Terima kasih.
Tuan Hee Loy Sian - Petaling Jaya Selatan
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Tentang rumah terbengkalai ini yang saya rasa tidak dapat selesai dan berulang-ulang sampai kini banyak lagi rumah terbengkalai yang belum diselesaikan. Pada tahun 2000, kerajaan memperkenalkan konsep bina dan kemudian jual. Akan tetapi selepas Yang Berhormat Menteri take over konsep ini dibatalkan.
Saya ingin merujuk kepada negara lain seperti Taiwan dan juga Thailand. Mereka mempunyai konsep di mana menggunakan konsep bina kemudian jual dan mereka tidak ada masalah tentang rumah terbengkalai. Malaysia ini kes rumah terbengkalai berulang- ulang. Apakah penghalang utama kerajaan untuk memperkenalkan konsep ini. Terima kasih.
Datuk Abd. Rahman Dahlan
Terima kasih Yang Berhormat. Soalan yang agak menarik tetapi sebelum saya menjawab soalan itu saya ingin memberi statistik sedikit tentang rumah terbengkalai yang telah dipulihkan oleh kerajaan. Bagi tempoh tahun 2009 sehingga 30 April 2015 kementerian telah berjaya memulihkan 165 projek atau 76.4% daripada 216 projek perumahan swasta yang diisytiharkan terbengkalai. Selebihnya sebanyak 22 projek sedang dipilihkan dan 29 lagi masih dalam peringkat perancangan
Datuk Abd. Rahman Dahlan
untuk dipulihkan. Manakala 165 projek yang telah siap diselesaikan itu meliputi 45,206 unit rumah dengan jumlah pembeli lebih kurang 29,903 orang.
Jadi dari segi statistik Yang Berhormat, saya kira kita memang mempunyai progresif ataupun rekod yang baik. Walau bagaimanapun, saya faham tentang apa yang dimaksudkan oleh Yang Berhormat. Cuma bina kemudian jual ini sebenarnya tidak dibatalkan. Itu saya ingin memperbaiki statement Yang Berhormat. Sebenarnya kita hanya tangguhkan buat sementara waktu sebab pada masa ini yang lebih menjadi keutamaan kepada kementerian ialah harga rumah yang terlalu tinggi atas faktor-faktor supply yang berkurangan.
Apabila kita mewajibkan bina kemudian jual ini apa yang berlaku ialah ramai daripada pemaju perumahan tidak akan mampu untuk membina rumah kerana mereka terpaksa mengeluarkan kos pengeluaran awal tanpa mendapat bantuan daripada pembeli yang membeli. Maknanya pembeli hanya membayar setelah rumah itu siap.
Maka apa yang berlaku ialah kita merasakan pemaju-pemaju perumahan akan berkurangan. Tidak akan mampu untuk membina rumah dan ini akan memberi tekanan kepada supply ataupun bekalan perumahan dalam pasaran yang akan menyebabkan harga rumah akan naik. Oleh sebab itu saya membuat keputusan pada waktu itu bahawa priority keutamaan kementerian pada waktu ini ialah untuk memastikan harga rumah stabil dan dengan mewajibkan DKJ ini akan menaikkan lagi harga rumah kerana bekalan perumahan akan berkurangan disebabkan pemaju perumahan tidak mempunyai kewangan yang kukuh yang sanggup untuk membelanja finance daripada awal sampai habis barulah dapat dijual kepada pembeli.
Walau bagaimanapun Yang Berhormat seperti mana yang saya katakan tadi dasar ini hanya ditangguhkan buat sementara waktu. Bila masa sesuai nanti kita akan fikirkan semula dasar ini untuk kebaikan industri. Terima kasih.
4. Tuan Idris bin Haji Ahmad [Bukit Gantang] minta Menteri Kewangan menyatakan apabila berlaku kemalangan sering menjadi masalah kepada pemilik kenderaan untuk menuntut pampasan supaya kenderaan diperbaiki. Apakah prosedur yang ditentukan untuk membolehkan pemilik kenderaan tidak menunggu begitu lama untuk membaiki kenderaan akibat karenah bengkel dan syarikat insurans.
Timbalan Menteri Kewangan - Datuk Haji Ahmad bin Haji Maslan
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera dan salam 1Malaysia, Tuan Yang di-Pertua. Yang Berhormat Bukit Gantang, terima kasih atas soalan yang diberikan.
Apabila berlaku kemalangan jalan raya, pemilik kenderaan akan menuntut pampasan insurans supaya kenderaan boleh dibaiki. Bagi membolehkan tuntutan dibuat, Bank Negara Malaysia telah menetapkan beberapa prosedur yang perlu dipatuhi oleh syarikat insurans. Bank Negara menghendaki syarikat insurans memaklumkan kepada pemegang polisi anggaran tempoh masa yang diperlukan sehingga kenderaan tersebut dibaiki sepenuhnya. Tempoh masa yang diambil bagi memproses tuntutan insurans motor adalah bergantung pada masa yang diambil pihak yang menuntut mengemukakan dokumen sokongan yang lengkap dan sahih, masa yang diambil untuk menilai kerosakan, membaiki, proses menilai dan membayar tuntutan yang dikemukakan.
Bagi kes-kes tuntutan insurans motor yang melibatkan kemalangan kecil dan tidak rumit, secara umumnya, anggaran tempoh masa yang diambil oleh syarikat insurans untuk membaiki kenderaan tersebut adalah kurang daripada sebulan. Namun demikian, terdapat situasi di mana masa yang lebih panjang diperlukan bagi kes tuntutan tertentu. Contohnya ialah seperti berikut:
(i) pihak yang menuntut tidak mengemukakan dokumen sokongan yang lengkap;
(ii) tuntutan berkenaan mempunyai unsur-unsur penipuan yang perlu diselidiki dengan terperinci;
Timbalan Menteri Kewangan - Datuk Haji Ahmad bin Haji Maslan
(iii) terdapat kesukaran untuk mendapatkan alat ganti bagi model kenderaan import tertentu; dan
(iv) tuntutan tambahan dibuat oleh pemilik kenderaan atau bengkel kenderaan yang memerlukan pemeriksaan semula oleh syarikat insurans akibat wujud pertikaian jumlah tuntutan.
Selain itu, industri insurans juga dikehendaki memaparkan piagam perkhidmatan pelanggan di laman web yang mengandungi maklumat tentang masa yang diambil dalam memproses tuntutan. Sekiranya mengalami kelewatan dalam mendapatkan tuntutan insurans, pemegang polisi dinasihatkan untuk bersegera mendapatkan penjelasan daripada syarikat insurans berkenaan. Sekiranya penjelasan yang diberi oleh syarikat insurans tidak munasabah, pemegang polisi boleh merujuk kes kepada Bank Negara Malaysia melalui saluran yang telah disediakan. Terima kasih.
Tuan Idris bin Haji Ahmad - Bukit Gantang
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua dan terima kasih Yang Berhormat Timbalan Menteri. Memang sewaktu kita hendak ambil polisi insurans ini, begitu juga apabila kereta kita berlaku kemalangan, semua syarikat ini janji manis belaka. Kononnya untuk dapat selesaikan dengan masa yang pendek. Akan tetapi realiti yang berlaku ialah berlakunya kelambatan di kalangan kita yang hendak menuntut terhadap kemalangan yang berlaku terhadap kenderaan kita.
Oleh sebab itu, kita mengharapkan supaya kementerian ini mewajibkan syarikat insurans itu meletakkan SOP atau flow kerja yang perlu ada kepada setiap syarikat insurans dan bengkel yang mengendalikan kenderaan yang kita hantar tadi. Ini kerana kadang selalu kita tengok menimbulkan masalah apabila kita hantar ke bengkel tersebut, bengkel itu kadang-kadang dia banyak kerenah sehinggakan lambat. Ini pengalaman berlaku pada diri saya sendiri. Kerosakan yang anggaran lebih kurang tidak sampai pun RM7,000 tetapi memakan masa lebih daripada dua bulan kerana kerenah yang ada pada bengkel dan juga kepada syarikat insurans.
Jadi harapan saya ialah supaya perlu ada satu penegasan daripada pihak kementerian supaya adanya satu syarat yang membolehkan, kalau mereka ini tidak ikut syarat tersebut maka dikenakan penalti dan wang itu diberikan kepada pihak yang menuntut tadi. Sekian, terima kasih.
Datuk Haji Ahmad bin Haji Maslan
Tuan Yang di-Pertua, Yang Berhormat Bukit Gantang, memang kita telah wajibkan ada piagam pelanggan. Yang Berhormat minta supaya ada flow kerja, itu satu cadangan yang baik. Tentang penalti itu kita akan buat kajian.
Saya ingin memaklumkan bahawa dari segi lima syarikat utama syarikat insurans, masa yang diselesaikan untuk membuat tuntutan daripada data enam bulan tahun 2014, ini syarikat yang utama, tujuh hingga 38 hari. Bererti dalam lingkungan sebulan atau kurang tetapi itu lima syarikat yang utama. Memang kita akui bahawa purata industri ialah 74 hari atau dua bulan setengah sebagaimana yang berlaku pada Yang Berhormat. Kita berusaha untuk memastikan ia dipercepatkan. Untuk mengenakan penalti dan sebagainya itu kita boleh fikirkan.
Saya juga ingin berkongsi maklumat tambahan di sini, jumlah tuntutan insurans kemalangan kenderaan yang telah dibayar oleh syarikat-syarikat insurans pada tahun 2013 ialah RM4.639 bilion, banyak ya. Kemudian pada tahun 2014, jumlah tuntutan insurans kemalangan kenderaan meningkat sedikit iaitu RM4.741 bilion. Terima kasih.
Puan Hajah Normala binti Abdul Samad - Pasir Gudang
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Soalan tambahan saya, Yang Berhormat Timbalan Menteri. Kita sedia maklum bahawa mereka yang mendapat kemalangan ini dahlah susah untuk meneruskan kehidupan harian dari sudut hendak pergi kerja, menguruskan hal keluarga. Jadi apabila syarikat-syarikat insurans ini, kereta yang kemalangan dihantar kepada selective workshops dan mengambil masa yang lama untuk memperbaiki, ia menjadi gangguan kepada kehidupan harian. Jadi bagaimanakah cara pihak kementerian boleh membantu dalam mengawal keadaan ini? Ini kerana kita hendak mengurangkan satu keadaan di mana insurans ini seolah-olah raja. Bila kita dah hantar kereta, hak dia, bila dia dengan workshop itu, bila kerja-kerja akan selesai. Terima kasih.
Datuk Haji Ahmad bin Haji Maslan
Kita akan terus mengusahakan langkah- langkah memperbaiki. Antara empat perkara yang kita ada untuk memperbaiki ialah,
Datuk Haji Ahmad bin Haji Maslan
pertama, sekarang ini ada 723 workshop yang diiktiraf oleh Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM). Jadi Bank Negara mencadangkan supaya workshop itu ditambah apabila workshop itu cukup syarat dan boleh diiktiraf oleh PIAM. Itu yang pertama.
Langkah yang kedua, Bank Negara dan industri insurans sentiasa ada mesyuarat berkala yang kita namakan Jawatankuasa Kerja Bank Negara dan Industri Insurans untuk kita memperbaiki polisi dan sebagaimana yang dimaklumkan oleh Yang Berhormat tadi. Langkah ketiga kita ada BNM LINK, Laman Informasi Nasihat dan Khidmat.
Yang ini aduan terus ke lima cawangan Bank Negara di seluruh negara jika berlaku terlalu lama tuntutan yang berkaitan. Atau langkah yang keempat, kita ada telefon tol free, 1-300- 88-5465. Sesiapa yang ada masalah kelewatan dan sebagainya boleh telefon itu, atau 03- 21741515 atau menghantar e-mel kepada bnmtelelink@bnm.gov.my Yang Berhormat, kita akan terus berusaha untuk memastikan tuntutan boleh diproses dengan segera. Terima kasih.
5. Dato' Sri Abdul Azeez bin Abdul Rahim [Baling] minta Menteri Komunikasi dan Multimedia menyatakan apakah langkah-langkah yang diambil oleh pihak kementerian bagi meningkatkan taraf kampung-kampung di kawasan luar bandar kepada Kampung Tanpa Wayar (Wi-Fi) kerana masih banyak lagi kampung-kampung di kawasan luar bandar mengharapkan kemudahan ini.
Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia - Dato' Jailani bin Johari
Bismillahi Rahmani Rahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Tuan Yang di- Pertua, saya tidak sempat menjawablah pantun, hanya lebih menjawab pada soalan ya.
Pertamanya, saya ucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Baling, sahabat saya yang menanyakan soalan. Tuan Yang di-Pertua, saya mohon untuk menjawab pertanyaan ini bersekali dengan lima lagi pertanyaan yang ditanya oleh Yang Berhormat Sibuti bertarikh 26 Mei, Yang Berhormat Labuan yang bertarikh 8 Jun, Yang Berhormat Kanowit yang bertarikh 9 Jun, Yang Berhormat Paya Besar bertarikh 16 Jun dan Yang Berhormat Stampin yang bertarikh 18 Jun kerana ia menyentuh perkara yang sama iaitu berkaitan dengan isu capaian dan juga liputan telekomunikasi.
Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia - Dato' Jailani bin Johari
Bagi menjawab pertanyaan daripada Yang Berhormat Baling dan juga Yang Berhormat Paya Besar, sebenarnya pihak kementerian melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia telah melaksanakan Projek Kampung Tanpa Wayar 1Malaysia (KTW1M) sekarang ini dikenali sebagai Projek WiFi Komuniti di bawah Program Pemberian Perkhidmatan Sejagat pada tahun 2010. Program ini sebenarnya menyediakan akses secara hot spot dengan capaian liputan terhad di antara 100 hingga 150 meter secara kolektif kepada komuniti setempat di kawasan tumpuan seperti perpustakaan desa, balai raya, pusat komuniti di kampung-kampung terpilih di seluruh Malaysia.
Untuk makluman Dewan yang mulia ini setakat 30 April 2015, sebanyak 5,716 WiFi Komuniti telah pun dilaksanakan di seluruh negara dan sejumlah 622,852 pengguna yang telah mendapat manfaat. Untuk kawasan Parlimen Baling sejumlah 43 WiFi Komuniti telah pun disediakan, manakala di Paya Besar sejumlah lapan WiFi Komuniti. Sebenarnya program ini adalah untuk memberi kesedaran dan juga pendedahan awal tentang internat terutamanya kepada masyarakat di luar bandar.
Kita harapkan dengan kesedaran yang wujud dan minat terhadap internet akan mendorong kepada langganan perkhidmatan lebih baik melalui tawaran pakej sedia ada.
Ataupun penggunaan internet di Pusat Internet 1Malaysia yang disediakan di kawasan- kawasan luar bandar. Sebagai lanjutan kepada Program WiFi Komuniti ini, pihak kerajaan juga akan mempergiatkan Program Pusat Internet 1Malaysia di seluruh negara. Pada masa yang sama kerajaan sentiasa meneliti dan mempertimbangkan keperluan perluasan pelaksanaan pelbagai inisiatif dari semasa ke semasa. Bagi memastikan penduduk mendapat akses kepada jalur lebar.
Sebenarnya kita sering bercakap tentang bandar dan luar bandar tetapi kita lupa tentang adanya pinggir bandar. Oleh yang demikian bagi memperluaskan liputan jalur lebar di kawasan pinggir bandar, pihak kerajaan melalui kementerian telah melaksanakan
Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia - Dato' Jailani bin Johari
program Projek Jalur Lebar Pinggir Bandar (SUBB). Projek ini kita akan menaikkan taraf beberapa ibu sawat khususnya di pinggir bandar dan luar bandar terpilih dengan capaian jalur lebar sehingga 20 megabit per second setelah siap projek ini nanti.
Bagi menjawab pertanyaan Yang Berhormat Sibuti, sebanyak 62 kawasan di negeri Sarawak telah pun dikenal pasti bagi pelaksanaan projek SUBB iaitu di pinggir bandar. Antara kawasan-kawasan yang telah dikenal pasti ialah Stapok, Mukah, Sri Aman, Serian, Kapit, Lawas dan juga Limbang. Di bawah Parlimen Sibuti kawasan sekitar Batu Niah dan Bekenu akan juga turut terlibat dalam projek ini. Berkaitan perkembangan terkini pelaksanaan menara telekomunikasi di Parlimen Sibuti, insya-Allah sembilan menara yang telah disiapkan manakala empat lagi akan ditambah dalam perancangan seterusnya.
Manakala pertanyaan oleh Yang Berhormat Labuan pula, secara keseluruhannya kawasan Labuan telah pun mempunyai akses internet yang menyeluruh bagi kategori talian tetap dan talian tanpa wayar. Untuk internet talian tetap, lebih daripada 8,200 sambungan port ADSL telah pun tersedia melalui talian ibu sawat TM Labuan yang mampu mencapai kelajuan sehingga 8 megabit per second mengikut kawasan yang hampir dengan point of presence. Bagi internet tanpa wayar kawasan Labuan mempunyai liputan cellular 2G, 3G dan 4G LTE yang mampu mencapai kelajuan sehingga 20 megabit per second. Kawasan yang mempunyai 4G LTE di Labuan termasuklah di Jalan OKK Awang Besar, Jalan Merdeka, Jalan Anggerik dan Kampung Ranca-Ranca.
Menjawab kepada pertanyaan daripada Yang Berhormat Kanowit pula, kadar capaian telefon cellular di Sarawak adalah lebih kurang 77.57% untuk perkhidmatan 2G dan 85.23% untuk perkhidmatan 3G. Dalam usaha untuk meningkatkan capaian telefon cellular pihak kementerian ini melalui SKMM telah membina 203 menara telekomunikasi di Sarawak manakala di bawah perancangan baru yang telah diumumkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, kita akan membina sejumlah 149 lagi di Sarawak.
Terakhirnya untuk soalan yang ditanya oleh Yang Berhormat Stampin yang membangkitkan berkaitan infrastruktur fiber yang sedia ada di kawasan Parlimen Stampin dan Parlimen Bandar Kuching. Infrastruktur fiber sedia ada lebih kepada sambungan rangkaian teras ataupun core network, dengan izin. Bagi Parlimen Stampin, Telekom Malaysia kini sedang dalam proses pelaksanaan projek high speed broadband 2 bagi dua ibu sawat iaitu Kuching dan juga Stampin. Projek ini dilaksanakan dengan secara berperingkat. Peringkat fasa pertama dijangka siap pada akhir suku ketiga tahun 2015 dengan jumlah home pass sebanyak 5,000 di Stampin dan 2,500 di Kuching.
Antara kawasan-kawasan dalam Parlimen Stampin yang akan mendapat liputan fiber optik adalah kawasan sekitar Stampin dan Penrissen, dengan jumlah port sebanyak 7,100. Manakala bagi Parlimen Bandar Kuching liputan fiber optik akan disediakan di kawasan sekitar Kuching dan Pending dengan jumlah port sebanyak 7,900.
Untuk makluman Dewan yang mulia ini hasil daripada program-program yang berterusan oleh pihak kementerian sehingga suku keempat tahun yang lalu kadar penembusan jalur lebar negara meningkat kepada 70.2% iaitu 6.7 langganan berbanding 67.1% pada suku keempat tahun 2013. Sekian terima kasih.
Datuk Abdul Azeez bin Abdul Rahim - Baling
Terima kasih kepada jawapan Yang Berhormat Timbalan Menteri dan terima kasih kepada Kementerian Komunikasi dan Multimedia kerana telah memberi peluang 43 WiFi Komuniti di kawasan Parlimen saya.
Kami amat bersyukur dan terima kasih. Soalan tambahan saya sejauh manakah peningkatan iaitu penaiktarafan kampung tanpa wayar ini dapat memberi manfaat kepada kawasan luar bandar khususnya liputan internet 3G dan 4G di kawasan-kawasan saya contohnya kawasan di Baling amat-amat lemah. Jadi kami berharap ia dapat dibantu.
Apakah mekanisme yang diambil oleh kerajaan dalam mempertingkatkan lagi pencapaian internet di Malaysia memandangkan pencapaian kelajuan internet negara kita berada di tahap yang rendah dan kurang memuaskan. Jika dibandingkan dengan negara- negara lain seperti di Asia seperti Singapore, Vietnam dan Thailand. Jadi saya harap pendekatan ini yang mana hari ini kita juga tahu kita akan ada pengumuman RMKe-11.
Kita juga boleh menambahbaikkan kementerian ini untuk mewujudkan dalam konteks internet ini lebih memberi manfaat kepada kawasan-kawasan luar bandar khususnya di kawasan saya Parlimen Baling. Terima kasih.
Dato' Jailani bin Johari
Terima kasih Yang Berhormat Baling. Sebenarnya untuk Yang Berhormat Baling dan juga rakan-rakan di Dewan yang mulia ini. Untuk kawasan Parlimen Baling sebenarnya selain daripada pusat ataupun KTW ataupun Projek WiFi Komuniti yang telah dilaksanakan. Pihak kerajaan juga telah meminta sejumlah tujuh lagi menara telekomunikasi. Pada masa yang sama kita telah membina Pusat Internet 1Malaysia ada lebih kurang dalam enam. Sebenarnya program-program berterusan yang diagihkan oleh pihak kementerian melalui SKMM bukan hanya khusus kepada program yang telah saya nyatakan. Akan tetapi ada lagi program-program yang mana engagement dengan pihak masyarakat bagi membolehkan masyarakat lebih dekat dengan internet ataupun jalur lebar.
Mengenai dari segi capaian. Untuk makluman Dewan yang mulia ini sebenarnya kelajuan sesuatu internet adalah bergantung kepada kapasiti atau pelayar servernya.
Dalam hal ini mungkin kalau kita lihat kita dapat pelbagai consultant ataupun pakar-pakar yang cuba mengeluarkan pandangan masing-masing. Sebenarnya hasil laporan adalah bergantung kepada kaedah ataupun metodologi pengukuran yang digunakan.
Sebenarnya untuk makluman Dewan yang mulia ini, di Malaysia kelajuan yang kita adakan adalah setanding. Kalau kita lihat untuk Kampung Tanpa Wayar sahaja kita telah menyediakan lebih kurang 4 Mbps. Di beberapa kawasan high speed broadband seperti yang saya maklumkan ia boleh mencapai sehingga pada 20 megabit per second. Jadi program-program berterusan dari segi peningkatan kadar jalur lebar akan diteruskan bukan hanya di Baling tetapi di semua kawasan di Malaysia ini. Terima kasih.
Tuan Julian Tan Kok Ping - Stampin
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, Yang Berhormat Menteri. Yang Berhormat Menteri terima kasih atas jawapan yang dibagi.
Soalan saya, bilakah proses naik taraf di Bandar Stampin dan Bandar Kuching akan disiapkan. Bolehkah kita mempercepatkan proses naik taraf tersebut kerana Kuching ini pun telah pun diiktirafkan sebagai bandar raya yang lama tetapi ada lagi banyak tempat tiada kemudahan fiber optik. Bukan sahaja fiber optik, dengan apa yang kita sedia ada sekarang iaitu internet service itu pun mempunyai banyak masalah di mana internet service ini tidak stabil walaupun di bahagian bandar.
Tuan Julian Tan Kok Ping - Stampin
Contohnya, ada di mana pelanggan mereka menggunakan pakej 4 megabit-per- second tetapi apa yang mereka peroleh adalah setara dengan 1 megabit-per-second. Itu adalah masalah yang dihadapi di bahagian Kuching. Jadi soalan saya bukan sahaja fiber optik, bolehkah kita memperbaiki apa yang kita adakan sekarang seperti apa yang Menteri katakan bahawa mungkin cara kita to gauge the speed of the internet adalah dalam kaedah bandwidth. Adakah bandwidth yang diperuntukkan itu mencukupi dan stabil kepada pengguna? Terima kasih.
Dato’ Jailani bin Johari
Terima kasih Yang Berhormat Stampin. Terdapat dua persoalan yang ditimbulkan oleh Yang Berhormat Stampin, tetapi separuh itu saya sudah jawab tadi. Untuk Parlimen Stampin, sebenarnya pihak kita telah meminta pihak Telekom Malaysia dan mereka sendiri dalam proses pelaksanaan projek high speed broadband di dua ibu sawat iaitu Kuching dan Stampin. Projek ini akan dijalankan secara berperingkat.
Peringkat fasal pertama dijangka siap suku ketiga tahun 2015 dengan home pass sebanyak 2,500 di Kuching dan 5,000 di Stampin.
Kawasan-kawasan terlibat untuk fasal pertama yang bagi daerah Kuching, Jalan Gering, Jalan Sungai Maong, Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruce, Jalan Rock, Jalan Ong Tiang Swee. Di Stampin, Jalan Datuk Bandar Mustapha, Jalan Kong Pin, Jalan Batu Kawah, Jalan Stephen Yong dan Jalan Penrissen.
Selain daripada itu, sebenarnya memang telah sedia ada selain daripada high speed broadband dual ini, memang sudah ada program yang dinamakan pakej Unifi. Saya percaya untuk makluman Yang Berhormat, di Tabuan Jaya, Jalan Urat Mata, Jalan Setia Raja dan ada beberapa senarai yang mungkin Yang Berhormat boleh datang jumpa dengan saya. Sekian, terima kasih.
Tuan Anuar bin Abd. Manap - Sekijang
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Kita tahu pihak kementerian pernah memaklumkan bahawa kadar penembusan dan pencapaian internet di Malaysia walaupun dikatakan melebihi 67% setakat Disember tahun 2014,
Tuan Anuar bin Abd. Manap - Sekijang
namun secara realitinya masih tidak memuaskan jika dibandingkan dengan bayaran yang dikenakan kepada perkhidmatan internet ini.
Soalan saya Tuan Yang di-Pertua, adakah kadar bayaran jalur lebar yang dikenakan kepada pelanggan masa kini berpatutan dengan perkhidmatan yang disediakan oleh syarikat telco berbanding dengan negara lain di rantau ini? Adakah pihak kementerian bercadang untuk menurunkan kadar yang dikenakan dalam perkhidmatan jalur lebar ini?
Terima kasih.
Dato’ Jailani bin Johari
Terima kasih Yang Berhormat Sekijang. Sebenarnya pihak kementerian melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia sentiasa memantau tindak balas pasaran terhadap caj perkhidmatan pakej jalur lebar. Untuk makluman Dewan yang mulia ini, sebenarnya harga internet ini adalah dinilai berdasarkan kepada kuasa membeli di sesebuah negara bagi mendapatkan perbandingan yang lebih tepat.
Berdasarkan kepada laporan Measuring Information Society 2013 dengan izin, yang diterbitkan oleh ITU. ITU ini adalah satu badan yang berkaitan dengan telekomunikasi.
Harga langganan jalur lebar talian tetap dari segi pariti kuasa beli ataupun power purchasing parity dengan izin, di Malaysia adalah kompetitif berbanding dengan Singapura iaitu USD39.1 di Malaysia dan USD36.6 di Singapura.
Walaupun demikian, jumlah USD39.1 di Malaysia tersebut adalah pada kadar 3.1% GNI per kapita berbanding Singapura, di mana USD36.6 tersebut adalah pada kadar 0.8% GNI per kapita negara tersebut. Jadi bagi meringankan beban rakyat, sebenarnya pihak kementerian bersama dengan pihak telco telah memperkenalkan pakej-pakej mampu milik kepada golongan yang kurang mampu sehingga setakat kadar pada RM25 pada tahap kualiti yang ditetapkan.
Untuk makluman Yang Berhormat Sekijang, beberapa syarikat telekomunikasi pun telah pun menurunkan harga internet jalur lebar, antaranya pihak Maxis dan Digi telah mula memperkenalkan. Celcom baru-baru ini pada 14 Mei telah melancarkan pakej RM25 pada kadar pakej 1 gigabit per second. Jadi syarikat-syarikat lain kita telah meminta sehingga penghujung Jun tahun ini untuk menurunkan kadar langganan jalur lebar. Sekian, terima kasih.
6. Tuan Hee Loy Sian [Petaling Jaya Selatan] minta Menteri Kerja Raya menyatakan penjajaran terkini Lebuhraya Damansara-Shah Alam (DASH) khususnya di kawasan Damansara Perdana yang memberi kesan terhadap penduduk di sekitar.
Timbalan Menteri Kerja Raya - Datuk Rosnah binti Haji Abd. Rashid Shirlin
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, terima kasih Yang Berhormat Petaling Jaya Selatan di atas soalan yang dikemukakan.
Tuan Yang di-Pertua, untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Projek Lebuhraya Damansara-Shah Alam (DASH) merupakan jajaran lebuh raya sepanjang 47 kilometer menghubungkan Puncak Perdana Shah Alam sehingga ke Penchala Link Damansara.
Hampir 80% struktur projek DASH akan dibina secara bertingkat atau elevated structure dengan izin, manakala baki 20% lagi dibina secara acreage, dengan izin.
Pada masa kini, jajaran Lebuhraya DASH telah melalui beberapa proses pindaan iaitu mengambil kira pandangan pelbagai pihak yang telah terlibat. Ini termasuklah keperluan untuk mematuhi peraturan dan garis panduan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan. Di samping itu, beberapa siri penerangan mengenai projek ini juga telah dan sedang diadakan dengan persatuan penduduk dan juga badan-badan bukan kerajaan atau NGOs di mana maklumat-maklumat berkaitan penilaian impak pelaksanaan projek DASH ini telah dikemukakan untuk makluman pihak-pihak berkenaan.
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, hampir keseluruhan jajaran Lebuhraya DASH disokong oleh majoriti pengguna kecuali terdapat bantahan oleh sebilangan penduduk melibatkan jajaran di kawasan Damansara Perdana. Sehubungan itu, kementerian akan mengambil kira pandangan daripada semua pihak yang terlibat termasuk melalui sesi dialog dan engagement dengan izin, sebelum menimbangkan cadangan pemilihan jajaran yang terbaik daripada aspek teknikal dan impak sosioekonomi secara holistik. Sekian, terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Tuan Hee Loy Sian - Petaling Jaya Selatan
Terima kasih. Masalah Lebuhraya DASH ini terutama di Damansara Perdana, di mana lebuh raya ini terlalu dekat dengan perumahan dan juga pusat perniagaan di mana penduduk dan para peniaga bantah tentang jajaran yang sedia ada. Mereka meminta kementerian supaya melalui LLM dan juga PROLINTAS untuk kaji semula jajaran yang baru yang mereka boleh terima.
Mereka meminta supaya kementerian mengadakan kajian EIA terutama di Damansara Perdana dan juga mengadakan kajian equality impact analysis terhadap kawasan perumahan Damansara Perdana. Adakah kementerian bersedia untuk mendengar rungutan dan rintihan penduduk supaya jajaran di sekitar Damansara Perdana boleh diubahsuai supaya mengelakkan melalui kepada penduduk di Damansara Perdana?
Sekian, terima kasih.
Datuk Rosnah binti Haji Abd. Rashid Shirlin
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, terima kasih juga di atas soalan tambahan yang dikemukakan oleh Yang Berhormat Petaling Jaya Selatan. Yang Berhormat, sekiranya Yang Berhormat mendengar jawapan saya lebih awal tadi, saya telah memaklumkan bahawa disebabkan oleh mengambil pandangan pelbagai pihak, pihak PROLINTAS, LLM dan juga kementerian telah melalui beberapa siri Yang Berhormat, proses pindaan.
Jika Yang Berhormat juga mungkin maklum, kita telah banyak membincangkan mengenai opsyen, sehingga enam opsyen Yang Berhormat dan penambahbaikan kepada cadangan-cadangan dan juga jajaran yang juga akan dilaksanakan Yang Berhormat, mengambil maklum mengenai beberapa cadangan yang dikemukakan sama ada oleh pihak NGO, Kerajaan Negeri Selangor ataupun pendapat-pendapat daripada golongan persatuan penduduk sendiri.
Untuk pengetahuan Yang Berhormat, beberapa penambahbaikan telah dilakukan oleh pihak konsesi bersama dengan pihak LLM dan juga sudah tentu pihak kementerian, di mana lokasi persimpangan bertingkat Damansara Perdana telah diubah Yang Berhormat, ke lokasi persimpangan bertingkat Damansara Perdana yang baru iaitu jauh dari kediaman.
Di samping itu, reka bentuk juga telah diubah Yang Berhormat, daripada double deck kepada single deck iaitu untuk memudahkan ataupun untuk memendekkan lagi ataupun menjarakkan lagi. Maafkan saya Yang Berhormat, kawasan pembinaan tersebut dengan kawasan-kawasan komersial dan juga penempatan.
Datuk Rosnah binti Haji Abd. Rashid Shirlin
Di samping itu Yang Berhormat, antara penambahbaikan yang dilakukan juga adalah ketinggian lebuh raya dan zon kelegaan ataupun buffer zone juga telah ditambah baik. Di samping itu, pihak konsesi juga mencadangkan membina susur naik bagi memberikan kelancaran trafik di jalan yang sedia ada.
Untuk pengetahuan Yang Berhormat juga, tiada struktur bangunan yang terlibat dan pembinaan lebuh raya menggunakan rizab jalan sedia ada. Di samping itu Yang Berhormat, untuk pengetahuan Yang Berhormat, ini terutama sekali untuk kawasan-kawasan perumahan dan komersial, pihak PROLINTAS telah mereka bentuk dan juga akan membina noise barrier iaitu sound tube Yang Berhormat, di lokasi-lokasi yang telah dikenal pasti terutama sekali seperti yang saya sebutkan tadi, kawasan-kawasan perumahan dan juga komersial akan diwujudkan satu tube untuk mengelakkan bunyi bising Yang Berhormat.
Untuk pengetahuan Yang Berhormat juga, sebenarnya kajian EIA dan TIA ini telah banyak dilaksanakan Yang Berhormat dan pihak Kementerian Kerja Raya telah pun membuat engagement dengan persatuan-persatuan penduduk yang terlibat seawal tahun 2011 sehingga yang terakhir dengan kumpulan ‘Say No To DASH’ pada 15 Mei yang lepas.
Engagement ini Yang Berhormat, adalah untuk memastikan pembinaan lebuh raya ini akan memberikan impak yang positif terutama sekali kepada masyarakat sekitar. Pembinaan DASH ini Yang Berhormat, sudah tentu akan mematuhi segala peraturan dan juga guideline yang telah ditetapkan oleh kerajaan.
Di samping itu Yang Berhormat, selain dari segi keselamatan, pihak kerajaan akan memastikan reka bentuk lebuh raya yang dilaksanakan ini akan mematuhi proses audit keselamatan jalan. Ini akan dipastikan Yang Berhormat. Jadi Yang Berhormat tidak perlu bimbang dari segi peraturan, dari segi reka bentuk, ia sudah tentu akan mengambil kira semua aspek yang telah dibangkitkan oleh Yang Berhormat tadi. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Dato’ Haji Irmohizam bin Haji Ibrahim - Kuala Selangor
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua dan terima kasih Yang Berhormat Menteri. Saya melihatkan cadangan khususnya pihak kerajaan untuk memperkenalkan Lebuhraya Damansara–Shah Alam ini sebagai satu alternatif yang sangat baik bagi mengurangkan masalah kesesakan terutamanya di kawasan saya iaitu di Puncak Alam dan Saujana Utama. Ini kerana ketika hari ini, masalah kesesakan lalu lintas khususnya di negeri Selangor masih gagal diselesaikan oleh kerajaan negeri.
Soalan saya kepada Yang Berhormat Menteri, dengan idea dan cadangan Lebuhraya Damansara–Shah Alam ini, saya ingin bertanya berapakah kos lebuh raya ini dan bagaimanakah penglibatan kerajaan negeri khususnya dari segi sokongan kerajaan negeri terhadap cadangan ini? Ini kerana saya khuatir nanti bila diluluskan dan termeterai perjanjian, takut di U-turn oleh kerajaan negeri. Terima kasih.
Datuk Rosnah binti Haji Abd. Rashid Shirlin
Terima kasih Yang Berhormat Kuala Selangor di atas soalan tambahan. Untuk pengetahuan Yang Berhormat Kuala Selangor, kos yang terlibat dalam pembinaan DASH ini adalah sebanyak RM4.1 bilion. Untuk menjawab kepada persoalan yang dibangkitkan, untuk pengetahuan Yang Berhormat, beberapa bulan yang lepas terdapat beberapa perbincangan termasuklah perbincangan di antara Menteri Kerja Raya dan juga Yang Amat Berhormat Menteri Besar Selangor sendiri.
Dari isu ini seperti yang Yang Berhormat maklum, cadangan pembinaan Lebuhraya KIDEX telah ditolak tetapi pada masa yang sama, Yang Amat Berhormat Menteri Besar Selangor telah menyatakan bahawa kerajaan negeri akan melihat kepada Kajian Pelan Pengangkutan Awam Selangor dan dikatakan mereka memerlukan tempoh masa selama enam bulan. Selepas enam bulan, bolehlah mereka membuat keputusan.
Dari segi DASH ini, belum ada makluman secara khusus Yang Berhormat, tetapi kita pun di peringkat kementerian berharap supaya projek ini dapat diteruskan kerana pada kami di peringkat kementerian, isu untuk pembinaan lebuh raya ini adalah untuk memberikan kemudahan dan untuk melihat kepada usaha mewujudkan rangkaian lebuh raya yang lebih baik. Pada masa yang sama juga, ia akan menggalakkan pertambahan ekonomi dan perkara ini adalah baik secara keseluruhan bukan sahaja kepada Kerajaan Pusat, malah kerajaan negeri juga akan mendapat manfaat daripada pembinaan lebuh raya-lebuh raya ini.
Jadi oleh itu Yang Berhormat, kita mengharapkan kerjasama yang baik akan sentiasa berjalan di antara kerajaan negeri dan Kerajaan Pusat kerana ini adalah untuk rakyat, ini adalah untuk negara. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
7. Dato’ Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad [Kuala Kangsar] minta Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani menyatakan apakah bentuk pampasan mahupun bantuan kepada mangsa banjir akibat kehilangan sumber pendapatan daripada sektor pertanian. Bagaimanakah kaedah untuk menyalurkan bantuan tersebut.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani - Dato’ Haji Tajuddin bin Abdul Rahman
Bismillahi Rahmani Rahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera dan salam 1Malaysia. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua dan terima kasih kepada Yang Berhormat Kuala Kangsar atas soalan yang dikemukakan. Untuk makluman Dewan, jumlah mangsa banjir di bawah penyeliaan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani ialah 17,590 orang.
| SEKTOR | BILANGAN | |||
|---|---|---|---|---|
| Akuakultur | 1456 | |||
| Petani | 12544 | |||
| Penternak | 3364 | Perusahaan Industri Asas Tani | 226 |
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani - Dato’ Haji Tajuddin bin Abdul Rahman
Kerugian keseluruhan yang dianggarkan ialah sebanyak RM152.94 juta. Mengikut pecahan sektor-sektornya adalah seperti berikut:
| SEKTOR | NILAI KERUGIAN (RM JUTA) |
|---|---|
| Akuakultur | 26.90 |
| Penternak | 41.20 |
| Petani | 81.60 |
| Perusahaan Industri Asas Tani | 3.07 |
Jenis-jenis bantuan yang diberikan kepada mangsa-mangsa banjir adalah seperti berikut:
(i) Tabung Bantuan Bencana Agromakanan sebanyak RM27.96 juta;
(ii) Skim Bantuan Bencana Alam dan Kebajikan Nelayan sebanyak RM2 juta, yang telah dibayar ialah sebanyak RM552,000 melibatkan 533 nelayan; dan
(iii) Program Touch Point perikanan yang telah mendapat bantuan sebanyak RM2.45 juta pada kadar RM1,500 untuk seorang nelayan.
Bentuk bantuan adalah dalam bentuk peralatan dan bukannya wang tunai.
Dalam pada itu, TEKUN juga mempunyai program membantu mangsa banjir di mana program keusahawanan pasca banjir 2015 melibatkan tiga skim yang dilaksanakan oleh pihak TEKUN
(i) Skim Pinjaman Fast Track. Seramai 543 orang yang melibatkan RM4 juta pinjaman pada kadar zero interest; dan
(ii) Pemulihan sehingga RM50,000 pinjaman setiap seorang yang telah diagihkan kepada 738 orang dengan jumlah RM12.9 juta pada kadar zero interest, dengan izin.
Selain daripada itu, TEKUN juga membantu dari segi melupuskan baki pinjaman, write off sebanyak RM13.6 juta kepada 1,768 orang.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani - Dato’ Haji Tajuddin bin Abdul Rahman
Tuan Yang di-Pertua, selain TEKUN, pihak Agrobank juga membantu pihak orang- orang mangsa banjir dengan tindakan dia satu daripadanya ialah moratorium iaitu penangguhan kepada peminjam-peminjam. Selama enam bulan diberikan penangguhan kepada 1,949 orang dengan nilai RM86.02 juta. Selain daripada penangguhan, penjadualan semula bayaran balik ataupun rescheduling of loan repayment dengan izin, yang melibatkan RM1.43 juta kepada enam permohonan.
Ketiga, pembiayaan baru untuk membantu usahawan-usahawan dengan tabung yang ada iaitu Tabung Agrobank sendiri dan Tabung Bank Negara. Tabung bank sendiri iaitu Agrobank, RM50 juta telah pun lulus sebanyak RM1.71 juta kepada 39 permohonan.
Manakala Tabung Bank Negara pula seramai 57 permohonan juga mendapat pinjaman baru yang melibatkan RM3.34 juta.
Tuan Yang di-Pertua, selain daripada itu, kementerian juga menggalakkan kerja- kerja pembaikan infrastruktur ladang-ladang, pengairan dan saliran, bangunan dan aset pertanian. Jumlah bagi tahun 2015 ialah RM50 juta. Agihan mengikut negeri:
| Negeri | Jumlah agihan (RM) |
|---|---|
| Perak | 20.9 juta |
| Pahang | 7.1 juta |
| Terengganu | 7.4 juta |
| Kelantan | 14.2 juta |
Semua projek ini dalam proses pelaksanaan. Terima kasih.
Dato’ Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad - Kuala Kangsar
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada kementerian- kementerian dan juga agensi-agensi dan semua pihak yang telah memberi komitmen kepada masalah banjir ini. Cumanya, penyelarasan tentang bantuan itu masih kita tunggu dan masih belum kesampaian. Jadi Tuan Yang di-Pertua, daripada pengalaman banjir kita baru-baru ini, kita sudah tahu dan kenal pasti kawasan-kawasan pertanian dan juga aktiviti- aktiviti ekonomi yang terdedah dan juga terjejas kepada bencana banjir ini.
Jadi soalan saya, apakah perancangan, adakah pihak kementerian mempunyai perancangan untuk memberi skim-skim atau program-program memberi panduan ataupun khidmat nasihat kepada kawasan-kawasan yang telah kita kenal pasti ini supaya kerugian besar tidak berulang lagi dan kita dapat mengawal kemusnahan banjir ini ke tahap yang paling minimum. Terima kasih.
Dato' Haji Tajuddin bin Abdul Rahman
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua dan juga Yang Berhormat Kuala Kangsar. Hendak mengelakkan banjir. itu program lain, tebatan banjir. That is another program. Apa yang kita cakap hari ini soalannya ialah bantuan kepada mangsa banjir. Bagi mangsa banjir pula, saya sudah sebut tadi, huraikan dengan panjang lebar skim-skim dan jenis-jenis bantuan yang kita berikan. Selain daripada itu, kalau untuk tambahan kepada Yang Berhormat, kita sentiasa membantu dari segi khidmat nasihat, bimbingan dan sebagainya macam mana hendak memulihkan pertanian mereka, penternakan mereka dan juga yang lain-lain. Terima kasih.
Dr. Mohd. Hatta bin Md. Ramli - Kuala Krai
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, terima kasih Yang Berhormat Timbalan Menteri. Saya ingin membuat pertanyaan dan kalau ada dalam simpanan Timbalan Menteri, mengenai jumlah bantuan yang telah disampaikan kepada mangsa-mangsa daripada kalangan petani yang sejumlah 12,544 orang seluruh negara kemungkinannya. Saya mohon kalau ada pecahan bagi mengikut negeri dan berapakah jumlah yang sebenarnya yang sudah disampaikan kepada petani-petani daripada sejumlah wang yang telah disediakan sebanyak RM81.6 juta, khusus kalau ada dalam rekod Menteri kawasan saya, Kuala Krai. Terima kasih.
Dato' Haji Tajuddin bin Abdul Rahman
Terima kasih Yang Berhormat.
Sebahagian daripada peruntukan yang saya sebutkan tadi telah pun diagihkan. Akan tetapi perincian berapa di kawasan Kuala Krai itu dan juga yang lain-lain itu, saya minta izin untuk dijawab secara bertulis. Sekian, terima kasih.
8. Dr. Ong Kian Ming [Serdang] minta Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan menyatakan bilangan item yang telah mengalami kejatuhan harga dan peningkatan harga sejak pelaksanaan GST pada 1 April 2015
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan - Dato’ Seri Ahmad Bashah bin Md. Hanipah
Bismillahi Rahmani Rahim, Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera dan salam 1Malaysia.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, terima kasih Yang Berhormat Serdang yang membuat soalan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.
Tuan Yang di-Pertua, izinkan saya untuk menjawab pertanyaan ini bersekali dengan tiga lagi pertanyaan yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Kulai pada 26 Mei, Yang Berhormat Kubang Kerian pada 28 Mei dan Yang Berhormat Pandan pada 11 Jun 2015 kerana ia menyentuh perkara yang sama iaitu turun naik harga barang sejak pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan iaitu GST.
Tuan Yang di-Pertua, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) telah melantik seramai 1,221 orang Pegawai Pemantau Harga di seluruh Malaysia untuk menjalankan pemantauan barangan dan perkhidmatan.
Pemantauan ini dijalankan di seluruh kawasan Parlimen yang melibatkan pemantauan harian sebanyak 114 jenis barang, kategori barangan basah dan barangan kering.
Pemantauan mingguan sebanyak 253 jenis barangan iaitu bagi kategori barangan basah, barangan kering, barangan berbungkus, tin, pek, kotak, botol dan juga makanan dan barangan bayi.
Pemantauan bulanan sebanyak 446 jenis barangan kategori barangan basah, barangan kering, barangan berbungkus, tin, pek, kotak, botol, makanan dan barangan bayi,
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan - Dato’ Seri Ahmad Bashah bin Md. Hanipah
barangan kebersihan dan juga rempah ratus. Di samping itu, pihak kementerian juga telah menjalankan pemantauan khas sempena GST iaitu yang melibatkan hampir 10,000 item barangan bagi pasar raya-pasar raya besar dan 5,000 item barangan dan perkhidmatan bagi kedai-kedai runcit di seluruh kawasan Parlimen.
Sejak pengenalan sistem cukai GST 6% pada 1 April 2015, berdasarkan kepada pangkalan data harga ke atas 446 jenis atau item barang pengguna terpilih, terdapat beberapa jenis item yang mengalami kejatuhan harga dan peningkatan harga mengikut kategori iaitu barangan basah, barangan kering, barangan berbungkus, makanan dan barangan bayi, barangan kebersihan serta barangan rempah ratus mengikut zon Semenanjung, Sabah dan juga Sarawak.
Tuan Yang di-Pertua, di Semenanjung, jumlah kejatuhan harga ialah sebanyak 99 item. Antaranya adalah barangan basah 48 item, barangan berbungkus 17 item, barangan kebersihan 3 item, barangan kering 14 item, barangan rempah ratus 10 item dan barangan bayi 7 item. Manakala bilangan item yang mengalami peningkatan harga adalah sebanyak 337 item. Antara barangan ialah barangan basah 105 item, barangan berbungkus 145 item, barangan kebersihan 18 item, barangan kering 21 item, barangan rempah ratus 33 item dan barangan bayi 15 item.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan - Dato’ Seri Ahmad Bashah bin Md. Hanipah
Peratusan kenaikan harga barang ialah sebanyak 0.06% hingga 92.25% iaitu julat purata harga 1 sen hingga RM7.38. Tuan Yang di-Pertua, manakala di Sabah jumlah kejatuhan harga ialah sebanyak 145 item. Antaranya ialah barangan basah 74 item, barangan berbungkus 33 item, barangan kebersihan dua item, barangan kering 15 item, barangan rempah-ratus 18 item dan barangan-barangan lain dan purata kenaikan harga ialah sebanyak 0.04% hingga 66.77% iaitu julat purata harga ialah 1 sen hingga RM3.71.
Itu di Sabah, manakala di Sarawak Tuan Yang di-Pertua, kejatuhan harga sebanyak 105 item dan peningkatan harga 272 item dan peratusan kenaikan harga ialah sebanyak 0.08% hingga 18.12% dan julat purata harga ialah 1 sen hingga RM12.19.
Terima kasih, Tuan Yang di-Pertua.
Tuan Yang di-Pertua
Terima kasih. Ahli-ahli Yang Berhormat sesi pertanyaan- pertanyaan jawapan lisan berakhir.
[Masa untuk Pertanyaan-pertanyaan bagi Jawab Lisan tamat]
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri - Dato' Razali bin Ibrahim
Saya mohon menyokong.
Tuan Yang di-Pertua
Ahli-ahli Yang Berhormat, sekarang saya kemukakan masalah kepada Majlis untuk diputuskan. Masalahnya ialah usul seperti yang dikemukakan tadi hendaklah disetujukan.
[Usul dikemukakan bagi diputuskan; dan disetujukan]
Perdana Menteri - Dato’ Sri Mohd. Najib bin Tun Abdul Razak
Bismillahi Rahmani Rahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera dan salam 1Malaysia. Alhamdulillah hirabbil a’lamin wabihi nastai’n. Selawat dan Salam kepada Rasul Junjungan Nabi Muhammad SAW suri teladan sepanjang zaman. Tuan Yang di- Pertua, saya dengan penuh takzim berdiri dalam Dewan yang mulia ini untuk mengemukakan satu usul:
“Bahawa Dewan ini, menyedari akan cabaran pertumbuhan ekonomi serta pencapaian sosioekonomi semasa pelaksanaan Rancangan Malaysia Kesepuluh; merestui usaha kerajaan untuk meneruskan Dasar Transformasi Nasional atau DTN dalam merangka dan merencana Rancangan Malaysia Ke-11 seterusnya; meluluskan pelaksanaannya bertunjangkan falsafah Dasar Transformasi Nasional dalam ikhtiar menjadi sebuah negara maju pada Tahun 2020, menurut Kertas Perintah 23 Tahun 2015; dan Bahawa dalam meluluskan Rancangan Malaysia Ke-11, Dewan yang mulia ini menyeru agar semua pihak bersama-sama dan berusaha menjayakan matlamatnya.” Tuan Yang di-Pertua, beberapa hari yang lalu kita baru sahaja meninggalkan bulan Rejab. Hari ini pula Khamis, 21 Mei jatuhnya bersamaan 3 Syaaban 1436 Hijrah pada salah satu bulan yang mulia sampailah masa dan ketika yang ditetapkan oleh Allah SWT bahawa sebuah lagi dokumen penting lagi bersejarah akan dipersembahkan.
Seperti mana yang tercatat dalam kitab suci Al-Quran surah Ali-Imran, ayat 26 dan ayat 54. Mafhumnya naik turun atau jatuh bangun sesebuah kerajaan itu adalah dalam rahsia dan kekuasaan penuh pemilik semesta raya bukannya di tangan makhluk. Begitulah juga kemampuan manusia merancang amat terbatas kerana sebaik-baik perancang adalah Tuhan seru sekalian alam.
Tuan Yang di-Pertua, menyusul titian masa semenjak tahun 1971 hingga 1990 kita telah melalui Dasar Ekonomi Baru (DEB) dipelopori oleh Allahyarham Tun Abdul Razak yang mengutamakan pembasmian kemiskinan dan penyusunan semula masyarakat di mana ketika itu untuk mencapai sasaran sosioekonomi yang lebih saksama sebagai satu cara mewujudkan keharmonian dan perpaduan dalam negara yang terdiri daripada pelbagai kumpulan etnik agama.
Kemudiannya bermula tahun 1991 sampai pada tahun 2000 diperkenalkan pula oleh Tun Dr. Mahathir, Dasar Pembangunan Nasional yang berfokuskan pembangunan seimbang dan membawa kepada lahirnya Wawasan 2020. Dalam pada itu, Dasar Wawasan Negara dilaksanakan melewati tahun 2001 hingga 2010. Dasar ini pula memberi penekanan kepada pembangunan masyarakat berasaskan pengetahuan dan mewujudkan bangsa Malaysia yang lebih bersatu-padu, progresif lagi makmur menuju negara maju menjelang 2020.
Selanjutnya dalam episod-episod bersilih ganti diperkukuhkan lagi dengan beberapa gagasan dan misi nasional oleh Allahyarham Tun Hussein Onn dan Tun Abdullah Ahmad Badawi. Tuan Yang di-Pertua, sebelum itu elok saya menjelaskan kepada Ahli-ahli Yang Berhormat khususnya dan rakyat dikasihi di luar sana tentang pelbagai dokumen yang dibentangkan oleh pihak kerajaan sama ada di dalam Parlimen atau di majlis-majlis rasmi.
Perdana Menteri - Dato’ Sri Mohd. Najib bin Tun Abdul Razak
Pertamanya, saban tahun dalam Dewan yang mulia ini kerajaan usulkan bajet negara yang diselaraskan oleh Kementerian Kewangan manakala kira-kira tiga minggu yang lepas di Angkasapuri saya telah menyampaikan laporan tahunan merangkumi Program Transformasi Kerajaan dan Program Transformasi Ekonomi. Dokumen itu pula diselia oleh pasukan PEMANDU bersama kementerian-kementerian dan agensi yang berkaitan.
Rancangan Malaysia ini pula ianya di bawah kelolaan Unit Perancang Ekonomi atau EPU. Untuk pengetahuan ramai semenjak unit ini ditubuhkan pada tahun 1961 tugas utamanya adalah untuk menyediakan rancangan pembangunan negara. Jadinya jika diimbau semenjak lima dekad lalu melalui 10 Rancangan Malaysia Kerajaan Barisan Nasional telah menempa dan mencipta pelbagai ceritera kejayaan yang dapat dibanggakan.
[Tepuk]
Perdana Menteri - Dato’ Sri Mohd. Najib bin Tun Abdul Razak
Ini bermakna, alhamdulillah negara bertuah ini telah mencapai kemajuan yang dikagumi dan terus berada di jajaran yang betul serta kukuh.
Tuan Yang di-Pertua, di sini satu hal yang perlu difahami baik-baik bahawa kesemua dasar dan wawasan setiap satu rancangan adalah tali-temali, saling kait berkait dan lengkap melengkapi antara satu sama lain secara konsisten sejak puluhan tahun yang lalu. Ertinya adalah tidak benar jika sesetengah pihak menuduh kononnya dasar kerajaan hari ini terpisah daripada dasar-dasar yang sebelumnya.
Dalam konteks ini ingin saya tegaskan bahawa segala perancangan, gagasan dan dasar kerajaan, perikatan membawa kepada Kerajaan Barisan Nasional sejak meraih kemerdekaan di bawah pimpinan Tunku Abdul Rahman pada ketika itu hinggalah kini kita terus berkesinambungan dan beristiqamah pada landasan dan menuju matlamat yang sama.
[Tepuk] Jelasnya bertitik tolak daripada Rancangan Malaysia Pertama yang dilaksanakan oleh pucuk pimpinan Parti Perikatan selepas Pilihan Raya Umum Malaysia yang pertama tahun 1964 hinggalah Rancangan Malaysia Kesepuluh kita telah mampu memperoleh pelbagai nikmat kejayaan.
Tuan Yang di-Pertua, antara sepuluh, saya pilih sepuluh sahaja tetapi banyak lagi tetapi antara sepuluh pencapaian dan kisah yang boleh dibanggakan sepanjang sepuluh rancangan Malaysia yang lalu adalah:
(i) pada tahun 1970 nilai KDNK adalah sebanyak RM71.1 bilion berbanding pada tahun 2014 ia telah melonjak kepada RM1.1 trilion. Malaysia juga telah berjaya mencatat pertumbuhan ekonomi antara yang tertinggi di Asia yakni secara purata pada kadar 6.2% setahun sejak lima dekad yang lalu;
(ii) dari sudut sektor ekonomi, kita telah beralih daripada sebuah negara dominan sektor pertanian dengan sumbangan 31.8% KDNK pada tahun 1970 kepada sebuah negara berasas pembuatan dan perkhidmatan dengan sumbangan pada kadar 76.5% pada KDNK. Walhal sektor pertanian telah menguncup pada paras 9.2% pada tahun lepas;
(iii) pendapatan bulanan purata isi rumah juga meningkat lebih 20 kali ganda yakni daripada RM264 sebulan pada tahun 1970 kepada RM6,141 sebulan pada tahun 2014. Manakala pendapatan menengah atau median income sebulan pada tahun 1970 daripada RM166 telah meningkat kepada RM4,585 sebulan tahun lalu,
(iv) sedekad RMKe-10 sebanyak 76.1% daripada isi rumah keseluruhannya sudah memiliki kediaman Bagi isi rumah miskin pula sebanyak 75.3% telah berjaya mempunyai rumah sendiri;
(v) sehingga kini 95.1% daripada penduduk di seluruh negara telah mendapat akses kepada bekalan air bersih dan 97.6% pula mendapat bekalan elektrik;
(vi) jika pada tahun 1970 hanya 75% rakyat Malaysia boleh membaca dan menulis. Syukur lah hal ini kadar literasi telah meningkat kepada 98%;
Perdana Menteri - Dato’ Sri Mohd. Najib bin Tun Abdul Razak
(vii) sebanyak 27% daripada tenaga buruh kini mempunyai pendidikan tertiari iaitu meningkat empat kali ganda berbanding 6% pada tahun 1980 ketika penghujung Rancangan Malaysia Ketiga;
(viii) kadar pengangguran telah menurun daripada 7.4% pada tahun 1970 kepada hanya 2.9% pada tahun 2014;
(ix) hak milik ekuiti bumiputera dalam sektor korporat pula telah meningkat sebanyak 10 kali ganda yakni daripada 2.4% pada tahun 1970 kepada 23.5% pada tahun 2011; dan
(x) kadar kemiskinan telah berkurang daripada 49.3% pada tahun 1970 kepada hanya 0.6% pada tahun 2014. Jadinya bersyukur kita bahawa kemiskinan tegar telah berjaya dibasmikan.
Tuan Yang di-Pertua, sebermulanya saya mengambil tampuk kepimpinan negara pada 3 April 2009, kerajaan telah melakarkan Dasar Transformasi Nasional sebagai falsafah teras kepada pentadbiran negara dihitung dari tahun 2011 hingga tahun 2020.
Dasar Transformasi Nasional ini dirangka sebagai satu peta hala tuju negara dengan tujuan mentransformasikan Malaysia secara tuntas dan holistik demi melonjakkan kita sebagai sebuah negara maju atau high-income advanced economy.
Ia berasaskan kriteria-kriteria antaranya untuk mencapai pertumbuhan yang bersifat inklusif, sustainable, growth with equity, kompetitif, progresif, rakyat yang bersahsiah dan morally strong dalam satu kehidupan masyarakat yang saling berpadu mengamalkan pula kesederhanaan yakni wasatiyyah berpaksikan kepada prinsip 1Malaysia. Ringkasnya kita mahu mencapai satu bentuk kecapan, kemakmuran dan kejayaan negara kepada seluruh rakyat di mana tidak ada mana-mana golongan pun yang akan merasa tercicir atau terpinggir.
Tuan Yang di-Pertua, di bawah lembayung Dasar Transformasi Nasional inilah lahirnya setakat ini enam program:
(i) Program Transformasi Kerajaan;
(ii) Program Transformasi Ekonomi;
(iii) Program Transformasi Politik,
(iv) Program Transformasi Komuniti,
(v) Program Transformasi Sosial, dan
(vi) Program Transformasi Fiskal.
Hari ini satu lagi kertas mustahak akan saya sampaikan iaitu Rancangan Malaysia Ke-11. Berhubung rapat dengan falsafah tunjang Dasar Transformasi Nasional yang saya takrifkan sebentar tadi pula, sebelum saya meneruskan dengan pembentangan moleklah diberi gambaran bagaimanakah yang dikatakan rupa wajah sebuah Malaysia yang dikatakan maju itu kelak. Apabila tiba penghujung Rancangan Malaysia Ke-11 ini.
Sebagaimana kita perlu faham Rancangan Malaysia Ke-11 ini merupakan pelonjak akhir sebelum kita memasuki gelanggang negara maju. Pada ketika itu kita seharusnya telah mencapai beberapa perkara seperti pendapatan negara kasar per kapita mencecah USD15,000 daripada piawaian antarabangsa nilai ini telah menepati tahap pendapatan sebagai negara maju.
Walaupun demikian sesebuah negara maju tidak boleh hanya didefinisikan dari sudut pendapatan per kapita sahaja. Ringkasnya pada hemah saya kita perlu membangunkan sebuah tamadun holistik di mana masyarakatnya seharusnya memiliki nilai-nilai tinggi berakhlak, mencintai ilmu pengetahuan, rajin membaca, menghargai seni budaya dan warisan serta memiliki minda yang mencerminkan pula rakyat sebuah negara maju.
Perdana Menteri - Dato’ Sri Mohd. Najib bin Tun Abdul Razak
Tuan Yang di-Pertua, makanya melangkah ke hadapan, buat julung kali setelah menerima mandat daripada rakyat secara demokrasi pada Pilihan Raya Umum Ke-13 yang lalu dengan kehendak dan izin Yang Maha Berkuasa, saya bentangkan di sini Rancangan Malaysia Kesebelas dengan enam strategi tumpuan iaitu:
Perdana Menteri - Dato’ Sri Mohd. Najib bin Tun Abdul Razak
(i) Inklusiviti;
(ii) Kesejahteraan rakyat;
(iii) Modal insan;
(iv) Pertumbuhan Hijau;
(v) Infrastruktur; dan
(vi) Inovasi dan Produktiviti.
Bagi memastikan enam strategi tumpuan RMKe-11 ini berjaya mencapai matlamatnya, game changers berikut akan dilaksanakan sebagai pemangkin ke arah lonjakan yang signifikan bagi menjana pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan rakyat secara inklusif:
(i) Meningkatkan Produktiviti
(ii) Menjana Kekayaan Melalui Inovasi;
(iii) Mempertingkatkan peratusan masyarakat kelas menengah;
(iv) Menteraskan Pendidikan dan Latihan Teknikal atau TVET;
(v) Melaksana Pertumbuhan Hijau; dan
(vi) Melabur di Bandar-bandar Berdaya Saing.
Tuan Yang di-Pertua, merujuk strategi tumpuan inklusiviti. Kerajaan akan berikhtiar bersungguh-sungguh agar tiada golongan rakyat yang akan tercicir daripada menikmati manfaat kemakmuran dan pembangunan negara. Adalah hakikat di dunia ini, bagaimana maju pun sesebuah negara itu seperti Amerika Syarikat, United Kingdom dan Jepun, dengan izin Tuan Yang di-Pertua, there will always be vulnerable groups. Mereka yang berpendapatan rendah, golongan gelandangan dan yang tidak mempunyai pekerjaan.
Selain daripada itu, Malaysia akan terus menangani golongan isi rumah berpendapatan 40% terendah ke bawah, bottom 40% atau selepas ini saya akan sebut sebagai B40.
Untuk makluman, menurut perangkaan, golongan B40 ini kini adalah sekitar 2.7 juta orang. Oleh yang demikian, dalam tempoh rancangan ini, kerajaan mensasarkan pendapatan purata isi rumah B40 meningkat daripada lebih kurang RM2,500 sebulan pada tahun 2014 kepada lebih RM5,000 sebulan pada tahun 2020 kelak. Ke arah ini, kerajaan akan mengambil usaha-usaha yang intensif, antaranya merapatkan jurang pencapaian pendidikan dan kemahiran serta meningkatkan produktiviti. Bahkan, kadar pekali Gini negara dijangka semakin mengecil daripada 0.401 pada tahun 2014 kepada 0.385 pada tahun 2020. Untuk makluman semua, dari sudut ekonomi, lebih kecil nilai pekali Gini bererti kita makin berada dalam keadaan yang lebih baik dengan pengagihan pendapatan yang lebih saksama di kalangan rakyat.
Bagi menangani kos sara hidup isi rumah B40 ini, inisiatif-inisiatif seperti Klinik 1Malaysia, Menu Rakyat 1Malaysia, Kedai Rakyat 1Malaysia, Kedai Kain 1Malaysia, Kedai Agrobazaar Rakyat 1Malaysia akan terus dilaksanakan. Pelbagai lagi inisiatif baru akan dibuat dan diperkenalkan sepanjang tempoh rancangan ini. Pendapatan isi rumah B40 juga akan dipertingkatkan melalui pendidikan dan kemahiran tinggi. Bagi yang minat untuk berniaga pula, program sokongan keusahawanan akan ditambah baik khususnya bagi perusahaan mikro dan kecil.
Di samping itu, saya menyeru dan mahukan sektor swasta terutamanya syarikat- syarikat multinasional dan syarikat besar tempatan supaya menyumbang kepada pembangunan golongan ini dengan cara menempatkan premis perniagaan atau kilang- kilang mereka di kawasan majoriti penduduk B40.
Seperkara lagi, masyarakat kelas menengah seperti yang dihasratkan oleh kerajaan dapat ditingkatkan saiznya daripada 40% sekarang kepada 45% apabila tibanya tahun 2020.
Tuan Yang di-Pertua, dalam hal memperkasa komuniti untuk membina masyarakat yang produktif dan sejahtera, tentulah tumpuan akan diberikan kepada kanak-kanak, belia, warga emas, wanita dan juga kaum majoriti bumiputera. Bagi golongan wanita, peranan mereka bukan sahaja terhad kepada pembentukan keluarga yang bahagia tetapi juga menyumbang kepada kemajuan sosioekonomi. Kadar penglibatan tenaga kerja wanita akan meningkat daripada 54% pada tahun 2014 kepada 59% menjelang tahun 2020. Kerajaan
Perdana Menteri - Dato’ Sri Mohd. Najib bin Tun Abdul Razak
juga akan terus melaksanakan dasar yang menentukan pembabitan wanita di peringkat pengurusan dan pembuat keputusan pada kadar 30% di sektor awam dan swasta.
Kepada golongan belia pula yang menjadi harapan dan aset penting negara, dengan Dasar Belia Negara yang baru, kerajaan mahukan potensi mereka dicapai sepenuhnya melalui pengupayaan pendidikan dan latihan kemahiran keusahawanan, sukan dan kesukarelawan. Ke arah ini, seperti mana dalam Bajet 2015 yang lalu, kerajaan telah mengumumkan cadangan pelaksanaan tiga projek perintis bagi 1Malaysia Youth City iaitu di Semenanjung, Sabah dan Sarawak dengan peruntukan sebanyak RM100 juta. Di bawah RMKe-11 pula, 1Malaysia Youth City akan mempunyai ekosistem komprehensif bagi membolehkan belia meningkatkan keupayaan, majukan diri dalam pekerjaan, dalam bidang keusahawanan di samping menikmati kemudahan rekreasi, perumahan yang baik termasuk rumah transit.
Bagi golongan kanak-kanak pula, pusat penjagaan kanak-kanak berkeperluan khas akan diperbanyakkan. Sementara itu, bagi yang berumur 13 hingga 18 tahun dan tinggal di institusi kebajikan akan diberikan peluang untuk mendapatkan pendidikan dan latihan teknikal serta vokasional atau TVET.
Selanjutnya, sumbangan dan khidmat bakti yang telah ditabur oleh warga emas kepada negara ini akan sentiasa dihargai. Justeru, sebagai masyarakat penyayang dan prihatin, fasiliti penjagaan warga emas akan ditambah baik dan diperbanyakkan dari semasa ke semasa sepanjang tempoh rancangan ini.
Seterusnya bagi golongan orang kurang upaya, kerajaan akan memperkukuhkan kesejahteraan mereka dengan memperluaskan lagi peluang pendidikan, latihan kemahiran dan keusahawanan kepada mereka. Melalui rancangan ini, kerajaan dengan kerjasama sektor swasta mensasarkan penambahan tujuh lagi pusat kehidupan berdikari baru di seluruh negara yang akan memberi manfaat kepada sejumlah hampir 11,000 OKU.
Kerajaan juga komited mencapai sasaran penyertaan OKU dalam mengisi lebih 16,000 jawatan dalam sektor awam melalui pertimbangan khas. Kini seramai hampir 4,000 OKU sedang berkhidmat dalam sektor awam.
Tuan Yang di-Pertua, selaras dengan konsep inklusiviti bagi memastikan pertumbuhan ekonomi negara dapat dinikmati oleh rakyat Malaysia tanpa mengira gender, etnik, status, sosioekonomi dan kedudukan geografi, tumpuan turut diberikan kepada semua kumpulan etnik, sub etnik dan kumpulan minoriti, hatta rakyat Malaysia berketurunan Siam dan Portugis.
Antaranya program skim pinjaman khas Kampung Baru Cina akan diteruskan dengan menumpukan kepada pinjaman mikro kredit.
Perdana Menteri - Dato’ Sri Mohd. Najib bin Tun Abdul Razak
Bagi masyarakat India pula, satu blueprint baru yang menggariskan hala tuju pembangunan sosial ekonomi kaum India akan disediakan. Untuk Orang Asli dan bumiputera di Sabah serta Sarawak, tumpuan akan diberikan pada pemberian hak milik tanah adat atau NCR bagi menggalakkan pembangunan tanah dengan teknologi moden melalui agensi kerajaan yang berkaitan.
[Tepuk] Kepada masyarakat Melayu di perkampungan tradisi, terutama nelayan, petani serta isi rumah yang bekerja sendiri akan disediakan kemudahan-kemudahan asas yang diperlukan termasuk memodenkan aktiviti-aktiviti bagi meningkatkan produktiviti serta pendapatan mereka.
Tuan Yang di-Pertua, bercakap tentang pembangunan bandar dan luar bandar.
Secara saling melengkapi penyediaan prasarana asas luar bandar seperti jalan raya akan di teruskan terutamanya di Sabah dan Sarawak. Kerajaan akan membina 3,000 kilometer jalan berturap di luar bandar bagi tempoh 2016 sehingga 2020.
Akses pada bekalan air dan elektrik di seluruh negara pula akan dipertingkatkan kepada 99% pada tahun 2020. Bagi bekalan air bersih dan terawat pula, projek bekalan air luar bandar pula, suka cita dinyatakan lebih RM10 bilion akan diluluskan. Manakala lebih RM3 bilion lagi turut diluluskan untuk projek bekalan elektrik luar bandar. Ini akan memberi impak kepada hampir 40,000 rumah.
Tuan Yang di-Pertua, dari aspek pembangunan ekonomi wilayah dalam tempoh 2011 hingga 2014, lima koridor iaitu Iskandar Malaysia, Koridor Pembangunan Sabah, Wilayah Ekonomi Pantai Timur, Koridor Utara dan Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak telah berjaya menarik pelaburan komited sebanyak RM307 bilion dengan 57% atau RM175 bilion pelaburan. Jumlah pelaburan ini menjana sebanyak lebih 427 000
Perdana Menteri - Dato’ Sri Mohd. Najib bin Tun Abdul Razak
peluang pekerjaan. Maka untuk RMKe-11 ini, kerajaan menyasarkan sebanyak RM236bilion pelaburan dan mewujudkan sebanyak 470 000 pekerjaan lagi dekat lima-lima koridor wilayah tersebut.
Tuan Yang di-Pertua, berhubung hal pembangunan ekonomi wilayah juga, sukacita saya umumkan, Kerajaan akan mewujudkan Malaysia Vision Valley. Malaysia Vision Valley ini yang terletak di bahagian barat Negeri Sembilan, meliputi Nilai, Seremban dan Port Dickson dengan cadangan kawasan seluas 108 000 hektar. Sebagai makluman, Malaysia Vision Valley ini merupakan satu lagi projek pembangunan bersepadu baharu, meliputi beberapa cluster strategik yang bertujuan untuk melengkapi pembangunan di Lembah Klang, khususnya di Putrajaya dan Kuala Lumpur.
Tuan Yang di-Pertua, pemerkasaan ekonomi bumiputera pula, akan terus menjadi agenda nasional. Peratus Bumiputera kepada populasi negara kini, adalah 68% berbanding 62% 25 tahun yang lalu. Maka dengan itu, inisiatif-inisiatif bagi bumiputera bukan sekadar harus, tetapi wajib dilaksanakan. Kerajaan akan tetap memperjuangkan dasar-dasar Bumiputera, tetapi mestilah berasaskan meritokrasi sesama bumiputera.
Seterusnya, ucapan Agenda Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera yang dilancarkan pada tahun 2013, kita komited dan berazam untuk menyasarkan kadar 30% pemilikan ekuiti bumiputera, berjaya dicapai menjelang tahun 2020 nanti, insya-Allah. Seterusnya lagi, untuk meningkatkan pemilikan ekuiti korporat bumiputera, sukacita saya ingin memaklumkan bahawa, pengeluaran wang dari Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja untuk melabur dalam Amanah Saham Bumiputera 2 akan dilancarkan, tertakluk kepada syarat penabungan minimum.
Tuan Yang di-Pertua, kesejahteraan rakyat adalah segala-galanya. Apa ertinya kemajuan tanpa sentosa dan bahagia mendatangi kehidupan. Oleh itu, di bawah RMKe-11 ini, tahap kesihatan rakyat dan kualiti penjagaan kesihatan akan terus dipertingkatkan. Ke arah itu, antara inisiatifnya, bilangan katil di kedua-dua hospital awam dan swasta akan ditingkatkan sebanyak 25% kepada 73,000 katil pada tahun 2020.
Sasaran ini akan dicapai antaranya, menerusi pembinaan enam hospital baru di Kemaman, Bentong, Baling, Pendang, Pasir Gudang dan Maran. Manakala, dua buah hospital di Sabah iaitu Hospital Tawau dan Hospital Kota Marudu serta Hospital Miri di Sarawak akan dinaik taraf. Selain pembinaan hospital baru, kerajaan juga sedang giat menyiapkan hospital di Sri Aman, Sarawak.
Di samping itu, bagi menambah baik akses kepada penjagaan kesihatan terutamanya di kawasan luar bandar, sebanyak 165 buah Klinik 1Malaysia akan dibina dengan kos sebanyak RM33 juta.
Pada masa yang sama, lebih ramai pakar perubatan dan kakitangan kesihatan yang berkemahiran tinggi akan disediakan. Matlamat Rancangan ini, menjelang tahun 2020, nisbah doktor kepada penduduk dijangka meningkat kepada seorang doktor bagi setiap 400 penduduk.
Dalam perkara ini, sekalipun World Health Organization atau WHO, tidak menetapkan apa-apa nisbah khusus, namun sekadar perbandingan dan makluman kepada Ahli-ahli Yang Berhormat, nisbah doktor kepada populasi kita, kalau hendak dibandingkan dengan negara Singapura 1:502, manakala di United Kingdom adalah 1:358. Ini adalah satu hal yang sungguh positif.
Bahkan, selain daripada perkhidmatan kesihatan awam kita yang hampir percuma, yakni bayaran hanya seringgit jika kita ke hospital kerajaan dan Klinik 1Malaysia bagi rawatan pesakit luar. Secara keseluruhannya lagi, WHO telah mengiktiraf bahawa, sistem perkhidmatan kesihatan di negara ini adalah di antara yang terbaik di rantau Pasifik Barat.
Meskipun begitu, kita perakui hakikat bahawa kita masih perlu menangani kekurangan pakar-pakar perubatan khususnya, di kawasan-kawasan luar bandar.
Tuan Yang di-Pertua, rumah tempat tinggal, dan bumbung tempat berlindung dari panas dan hujan, adalah antara tiga keperluan asas kehidupan kepada semua. Seiring ini, bagi meneruskan agenda pemilikan perumahan rakyat, semenjak 2013, kerajaan menyasarkan untuk membina 1 juta rumah mampu milik untuk rakyat. Jadinya, bagi merealisasikan sasaran tersebut, pembinaan perumahan mampu milik kepada rakyat dibuat melalui kerjasama antara kerajaan negeri dan sektor swasta. Antaranya, menerusi program
Perdana Menteri - Dato’ Sri Mohd. Najib bin Tun Abdul Razak
PR1MA, Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia, Projek Perumahan Rakyat dan Rumah Mesra Rakyat 1Malaysia.
Daripada jumlah 1 juta unit rumah yang dihasratkan tersebut, sebanyak 182,000 unit rumah dijangka dapat disiapkan sepenuhnya pada akhir tahun 2015. Di samping itu, kira-kira lebih 23,000 unit telah disediakan oleh kerajaan negeri dan FELDA. Jikalau, dalam tempoh RMKe-10, sekitar 74,300 unit rumah mampu milik telah dibina oleh sektor swasta di pelbagai negeri, di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 pula, sejumlah 653,000 unit rumah lagi akan dibina juga oleh pelbagai pihak.
Tuan Yang Dipertua. Sebagai satu lagi program baru, yang akan mengubah wajah rumah-rumah di kampung dan luar bandar, sukacita saya mengumumkan bahawa, satu program baik-pulih secara besar-besaran melibatkan sebanyak 400,000 rumah dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-11. Sebanyak RM5,000 sehingga RM10,000 akan diperuntukkan bagi setiap rumah.
Perdana Menteri - Dato’ Sri Mohd. Najib bin Tun Abdul Razak
Tuan Yang di-Pertua, sememangnya bidang sukan merupakan medium perpaduan yang sangat diminati dan popular di kalangan rakyat. Oleh itu, kerajaan akan menggalakkan bidang ini demi melahirkan atlet-atlet dan yang bertaraf dunia seperti Dato' Lee Chong Wei, Datuk Nicol Ann David, Datuk Sazali Abdul Samad dan Pandelela Rinong. Lantaran itu bagi melahirkan lebih ramai atlet yang cemerlang di bawah Rancangan Malaysia Kesebelas, Universiti Malaya dipilih untuk menumpukan kecemerlangan dalam sukan badminton.
Manakala Universiti Teknologi MARA menumpukan pada kecemerlangan sukan bola sepak. Di samping itu, Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari di Gambang, Pahang yang telah dilancarkan pada tahun 2014 akan terus diperhebat demi memastikan pembangunan, pemain, kejurulatihan, kemudahan dan pertandingan secara berterusan dilaksanakan pada peringkat usia yang lebih muda. Mudah-mudahan ranking Malaysia dalam bola sepak boleh bertambah lebih baik. Harapan besar itu.
[Ketawa] Tuan Yang di-Pertua, kemajuan juga bererti berkembangnya kesenian, kebudayaan dan ketamadunan. Oleh sebab itulah Rancangan Malaysia Kesebelas turut mementingkan golongan karyawan dan penggiat seni tanah air. Oleh itu aktiviti kesenian akan dipergiat dengan menaik taraf Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan
(ASWARA) daripada tahap akademi kepada status universiti dalam usaha menghasilkan penggiat seni dan budayawan yang berkaliber. Sehubungan itu juga, industri kreatif akan terus digalakkan.
Tuan Yang di-Pertua, modal insan adalah sumber terpenting kepada pembangunan negara. Maju atau mundurnya sebuah negara bergantung penuh kepada kekuatan dan kehebatan nilai, kompetensi dan kemahiran insaniah. Berhubung itu, sukalah saya memaklumkan, melalui Rancangan Malaysia Kesebelas ini sejumlah 1.5 juta peluang pekerjaan baru bakal diwujudkan. Antara langkah yang akan diambil ialah, menambah baik produktiviti buruh dan gaji, serta mempertingkatkan kecekapan operasi pasaran buruh.
Selanjutnya, pada akhir tempoh Rancangan Malaysia Kesebelas kelak, kerajaan mensasarkan peningkatan produktiviti buruh pada kadar purata 3.7% setahun berbanding 2.6% setahun pada RMKe-10. Dalam Rancangan ini, kerajaan juga mensasarkan agihan pampasan pekerja kepada KDNK meningkat kepada 40%, yang ini peratusan negara maju berbanding dengan 34% dalam tahun 2013. Maksudnya, jika sesebuah syarikat menjana RM10,000 agihan yang diberikan kepada pekerja secara purata adalah sebanyak RM4,000.
Tuan Yang di-Pertua, merujuk kepentingan dan kebajikan warga kerja, kerajaan akan memperkenalkan Indeks Gaji Nasional sebagai petunjuk dan penanda aras kepada majikan dalam menetapkan gaji yang setimpal dengan produktiviti, kemahiran, kelayakan dan kepakaran pekerja. Dalam pada itu, paras gaji minimum akan terus dikaji secara berkala berasaskan persetujuan tripartite yakni pihak kerajaan, majikan dan kesatuan pekerja.
Tuan Yang di-Pertua, realitinya lagi dalam menuju negara maju, kita memerlukan lebih ramai pekerja yang berkemahiran tinggi. Oleh sebab itu, kerajaan mahu supaya lebih ramai pelajar yang mendapat pendidikan berbentuk kemahiran dan vokasional dilatih dan dilahirkan yang jumlahnya kini hanya 25% daripada tenaga kerja. Rancangan ini bermatlamat melonjakkan 25% itu kepada 35%. Maknanya 35% akan terdiri daripada pekerja mahir supaya beriring dengan graduan akademik dan profesional. Oleh sebab
Perdana Menteri - Dato’ Sri Mohd. Najib bin Tun Abdul Razak
itulah, dalam mengatasi dan mendepani keperluan ini Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) akan diperkasakan.
Ke arah ini, sukacita saya mengumumkan antara lain, RM1 bilion akan diperuntukkan kepada Tabung Pembangunan Kemahiran berbanding RM500 juta pada tempoh Rancangan yang lalu. Melalui program ini, lepasan TVET berpeluang untuk mendapat pekerjaan dan kadar pendapatan nilai tambah yang tinggi dalam sektor-sektor seperti minyak dan gas, kejuruteraan, penerbangan, perkapalan serta automotif.
Selain itu, Program Sistem Latihan Dual Nasional disesuaikan daripada model latihan TVET di negara Jerman yang 70% kandungan latihan adalah berorientasikan apprenticeship. Ia dijangka meningkatkan jumlah pelatihnya daripada 164,000 kepada 225,000 orang pelatih pada tahun 2020. Sehubungan ini, bagi menggalakkan penglibatan sektor swasta dalam program apprenticeship ini, kerajaan bercadang memberi insentif berbentuk geran dan pengecualian cukai pendapatan.
Tuan Yang Dipertua, laginya dalam ikhtiar meningkatkan kualiti penyampaian pendidikan, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 sedang dilaksanakan dengan rapi. Daya saing sesebuah negara bergantung kepada penguasaan kita dalam bidang Science, Technology, Engineering and Mathematics (STEM). Begitu juga, pentingnya penguasaan Bahasa Inggeris yang baik dan bahasa kebangsaan sebagai pengukuhan jati diri rakyat Malaysia. Di samping itu, Kemahiran Berfikir Aras Tinggi serta pendidikan agama dan moral adalah di antara subjek yang perlu diberi keutamaan.
Tuan Yang Dipertua, seperkara yang mustahak lagi ingin saya nyatakan kepada Dewan yang mulia, dalam tempoh rancangan kadar penyertaan murid dari peringkat prasekolah sehingga sekolah menengah akan disasarkan kepada 100% enrolmen menjelang tahun 2020. Untuk pendidikan rendah dan menengah juga, sejumlah sekurang- kurangnya 80 buah sekolah baru akan dibina di seluruh negara dalam tempoh dua tahun pertama semasa Rancangan, meliputi antaranya dua buah di Perlis, dua buah di Melaka, lima buah di Sabah dan lima buah lagi di Sarawak.
Ini tidak termasuk sebagai contoh, dua buah Maktab Rendah Sains MARA yang akan dibina di Sik, Kedah dan Tanah Merah, Kelantan serta sebuah sekolah menengah yang majoritinya anak Orang Asli di Sungai Siput, Perak yang sudah hampir siap binaannya. Manakala, beberapa buah Sekolah Berasrama Penuh akan dibina seperti di Keningau, Sabah dan Manjung, Perak.
Menyentuh pendidikan tinggi pula, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi) merupakan antara strategi utama RMKe-11. Langkah ini dijangka dapat menyokong pencapaian sasaran 80% graduan mendapat pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas menamatkan pengajian.
Tuan Yang di-Pertua, berbicara tentang pertumbuhan hijau, pada Sidang Kemuncak Perubahan Iklim Copenhagen 2009, Malaysia dengan secara sukarela menyasarkan pengurangan intensiti pelepasan gas rumah kaca atau greenhouse gas kepada KDNK sehingga 40% menjelang tahun 2020. Sehingga akhir tahun 2013, Malaysia telah berjaya mengurangkan sebanyak 33% intensiti pelepasan greenhouse gas daripada KDNK hasil daripada pelaksanaan langkah mitigasi. Di sudut ini juga, senario global warming yang berlaku di seluruh dunia telah mengakibatkan pelbagai bencana seperti banjir, hakisan pantai dan tanah runtuh.
Perdana Menteri - Dato’ Sri Mohd. Najib bin Tun Abdul Razak
Ini telah menjejaskan aktiviti ekonomi serta punca pendapatan dan keselamatan rakyat. Selain itu, untuk projek Rancangan Tebatan Banjir atau RTB, antaranya kerajaan akan melaksanakan RTB Sungai Kelantan secara bersepadu melalui pembinaan Empangan Nenggiri dan Empangan Lebir. Projek-projek lain termasuk RTB Sungai Kuantan di Pahang, Sungai Moyog di Sabah, Sungai Perak dan Sungai Kemaman di Terengganu.
Tuan Yang di-Pertua, pembangunan infrastruktur adalah tulang belakang dalam melonjakkan kemajuan negara serta kesejahteraan rakyat. Rancangan ini menarik perhatian pada antara beberapa pembangunan infrastruktur yang akan memberi impak tertinggi dalam mencapai status negara maju. Ini termasuk pembinaan lebuh raya, kemudahan MRT dan LRT, loji jana kuasa elektrik, loji rawatan air dan inisiatif jalur lebar berkelajuan tinggi.
Perdana Menteri - Dato’ Sri Mohd. Najib bin Tun Abdul Razak
Bagi pembangunan rangkaian jalan raya, Lebuh Raya Pan Borneo sepanjang 2,239 kilometer yang sedang dibina akan meningkatkan hubung jalin di Sabah dan Sarawak.
[Tepuk] Manakala Central Spine Road yang menghubungkan Kuala Krai ke Simpang Pelangai Pahang dan Lebuhraya Kota Bharu-Kuala Krai akan menambah baik hubung jalin di Semenanjung Malaysia dan memangkin pertumbuhan di wilayah pantai timur. Kemudiannya Lebuh Raya Pantai Barat yang dijangka siap pada tahun 2019 akan menyediakan akses yang lebih baik kepada penduduk pantai barat di Perak dan Selangor.
Juga projek Landasan Berkembar Gemas-Johor Bahru, dengan jarak 197 kilometer akan dilaksanakan.
Tuan Yang di-Pertua, bagi pengangkutan awam juga, suka saya kongsikan, pembinaan Klang Valley Mass Rapid Transit Laluan Sungai Buloh ke Kajang, Laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya, dan LRT3, kesemuanya akan berlangsung pada RMKe- 11. Pembinaan High Speed Rail juga, untuk makluman Tuan Yang di-Pertua, yang akan menjajari Bandar Malaysia di Kuala Lumpur hingga ke Jurong East di Singapura akan dilaksanakan. Kemudahan ini bakal mempercepatkan perjalanan Kuala Lumpur ke Singapura pada hanya 90 minit. Setelah siapnya projek ini kelak, akan meningkatkan manfaat ekonomi antara kedua-dua buah negara yang paling pesat membangun di rantau ini.
Tuan Yang di-Pertua, berkait perkhidmatan jalur lebar pula, kerajaan akan meningkatkan liputannya secara menyeluruh melalui Inisiatif Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi ataupun HSBB2 dan Inisiatif Jalur Lebar Pinggir Bandar untuk menyokong pertumbuhan ekonomi. Dengan ini, sukacita dimaklumkan menjelang 2020, semua isi rumah di ibu negeri dan kawasan pertumbuhan berimpak tinggi akan mendapatkan akses perkhidmatan jalur lebar berkelajuan 100 megabit sesaat [Tepuk] Manakala saudara-saudara kita di kawasan pinggir bandar dan luar bandar pula, akan dapat akses perkhidmatan jalur lebar 20 megabit sesaat. Dalam kata lain, lagi laju daripada rumah kita sekarang.
Tuan Yang di-Pertua, seterusnya loji-loji jana kuasa elektrik baru untuk menjana 7,626 megawatt kuasa elektrik akan dibina, antaranya adalah tiga buah projek loji jana kuasa elektrik arang batu di Johor, Perak dan Negeri Sembilan. Serta dua buah projek loji jana kuasa elektrik gas di Pulau Pinang dan Johor. Ini semua dengan anggaran jumlah kos pelaburan sebanyak RM28 bilion dan akan mewujudkan lebih kurang 35,000 jumlah peluang pekerjaan baru.
Tuan Yang di-Pertua, Loji Rawatan Air Langat 2 pula adalah penting untuk menjamin bekalan air yang berterusan. Margin rizab bagi Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada masa sekarang adalah lebih kurang 4% sahaja. Bagi memastikan margin rizab ini di antara 10% hingga 15%, seperti yang digariskan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara, pelaksanaan ini perlu disegerakan. Kelewatan pelaksanaan projek ini akan menyebabkan integriti bekalan air dan kesejahteraan rakyat Selangor dan Lembah Klang terjejas.
Tuan Yang Dipertua, di sudut lain, perkhidmatan pembetungan bersambung pula disasarkan meningkat daripada 63% kepada 80% di bandar utama. Oleh itu, Projek Loji Rawatan Serantau dan Rangkaian Paip Pembetungan di Kinta Barat, Papan, Perak akan dibina dengan anggaran kos berjumlah RM2 bilion.
Tuan Yang Dipertua, berhubung sumber gas asli, medan gas yang sedia ada, khususnya di Semenanjung Malaysia semakin matang. Dari itu, kemudahan pengimportan gas asli perlu ditambah untuk memenuhi permintaan gas asli pada masa hadapan.
Lantasnya, Terminal Regasifikasi 2 sedang dibina di Pengerang, Johor sebagai tambahan kepada Terminal Regasifikasi 1 di Melaka, yang mula beroperasi pada tahun 2013. Selain itu, pembangunan Kompleks Bersepadu Petroleum Pengerang akan terus dilaksanakan dengan pelaburan sebanyak RM53 bilion pada 2016.
Selain daripada itu, projek infra utama yang akan dilaksanakan dalam Rancangan ini, termasuklah pembinaan lapangan terbang Mukah dan Lawas di Sarawak, pembesaran Lapangan Terbang Kota Bharu dan penambahbaikan Pelabuhan Kuantan. Terminal Padang Besar juga akan dinaik taraf dalam merancakkan lagi kendalian kargo dari Selatan Thailand untuk dieksport melalui Pelabuhan Klang.
Tuan Yang Dipertua, seterusnya, kajian empirikal membuktikan bahawa wujudnya korelasi yang kuat antara inovasi dan produktiviti. Survival dan berjayanya sesebuah organisasi atau negara itu, sangat bergantung kepada penekanan terhadap dua perkara ini.
Perdana Menteri - Dato’ Sri Mohd. Najib bin Tun Abdul Razak
Justeru, untuk sentiasa kekal mendepani kelok kemajuan, Malaysia akan terus membudayakan inovasi yang membawa kepada peningkatan produktiviti dalam semua peringkat, nasional, industri mahupun perusahaan.
Sehubungan itu, satu Blueprint Produktiviti Nasional akan digubal bagi menggariskan hala tuju serta merangka tindakan komprehensif lagi spesifik dalam memacu produktiviti. Bagi maksud ini, Majlis Produktiviti Nasional akan diwujudkan. Salah satu langkah untuk meningkatkan produktiviti, Pasukan Petugas Logistik Kebangsaan akan ditubuhkan untuk menyelaras, dan memantau pelaksanaan Pelan Induk Logistik dan Fasilitasi Perdagangan. Sektor industri pengangkutan dan penyimpanan dijangka berupaya mewujudkan sejumlah 146,000 peluang pekerjaan baharu berkemahiran tinggi kepada rakyat.
Dalam usaha meningkatkan tahap inovasi negara lagi, Kerajaan akan turut mengambil pendekatan yang pelbagai. Umpamanya, peralihan daripada pendekatan secara Government-centric kepada pendekatan keseluruhan masyarakat dan memberi peluang kepada penglibatan organisasi berasaskan komuniti.
Selaras itu, kerjasama penyelidikan antara kerajaan, industri dan ahli akademik akan terus diperkemas. Salah satu contoh sedia ada adalah, seperti Steinbeis Malaysia Foundation, SIRIM-Fraunhofer dan Jaringan Penyelidikan Awam Swasta yang ditubuhkan bagi meningkatkan pengkomersialan hasil penyelidikan. Makanya, menjelang tahun 2020, pengkomersialan output R&D disasar meningkat kepada 10% berbanding 5% pada tahun 2013.
Tuan Yang Dipertua, melalui Rancangan ini juga, sektor-sektor utama seperti perkhidmatan, pembuatan, pertanian, perusahaan kecil dan sederhana, akan terus dipastikan signifikasi sumbangannya kepada KDNK negara. Dalam sektor perkhidmatan, antara industri yang akan digalakkan adalah kewangan Islam, ICT, minyak dan gas, penjagaan kesihatan swasta, pendidikan tinggi swasta, pelancongan dan industri Halal.
Pada tahun ini, Blueprint Sektor Perkhidmatan yang mempunyai 29 pelan tindakan, mensasarkan peningkatan produktiviti buruh dari RM68,111 pada tahun 2015, kepada RM83,411 menjelang tahun 2020. Sektor ini, insya-Allah, dijangka menyumbang sebanyak 55.3% kepada KDNK.
Perdana Menteri - Dato’ Sri Mohd. Najib bin Tun Abdul Razak
Bagi sektor pembuatan pula akan dipacu oleh beberapa subsektor pemangkin iaitu kimia, elektrik dan elektronik, mesin dan peralatan, peranti perubatan serta aeroangkasa.
Apa yang penting, sektor ini akan membuka 2.8 juta lagi peluang pekerjaan. Seterusnya, bagi merancakkan pertumbuhan eksport, baru-baru ini Majlis Eksport Negara telah ditubuhkan. Majlis ini bertanggungjawab bagi menggalakkan pertumbuhan eksport, termasuk meningkatkan ekosistem eksport dengan menaik taraf infrastruktur, meningkatkan aktiviti dalam rantaian nilai, memaksimumkan peluang perdagangan, terutamanya dengan negara-negara ASEAN dalam jangka masa pendek dan sederhana.
Tuan Yang di-Pertua, jika negara perlu melakukan inovasi, bandar-bandar utama kita juga perlu melakukan inovasinya supaya kekal relevan. Kini bandar raya-bandar raya besar dunia bukan hanya berlumba-lumba mencari pelaburan tetapi ia menjadi persaingan bakat-bakat terbaik dunia untuk mentransformasikan bandar-bandar ini dan seterusnya, negara mereka. Jika dahulu, kalau dibicara tentang negara China, hanya bandar Beijing dan Shanghai diperkatakan, namun kebelakangan ini bandar-bandar lain di negara China seperti Shenzhen atau Guangzhou menjadi sebutan di persada dunia.
Justeru, bagi meningkatkan daya saing negara, bandar-bandar Kuala Lumpur, Johor Bahru, Kuching dan Kota Kinabalu telah dikenal pasti untuk melonjak pertumbuhan ekonomi. Bandar-bandar ini akan merangka pelan induk persaingan masing-masing supaya selaras dengan aspirasi negara di bawah RMKe-11.
Tuan Yang di-Pertua, sesungguhnya kita sentiasa menghargai jasa dan khidmat kakitangan awam dan anggota keselamatan. Untuk itu, dalam rancangan ini kerajaan akan terus menjamin kebajikan mereka seperti pembangunan kerjaya, skim perkhidmatan dan perumahan dari semasa ke semasa. Di samping itu, penyampaian perkhidmatan awam kepada rakyat akan terus dimantapkan dari segi kepantasan khidmat, kecekapan dan integriti.
Perdana Menteri - Dato’ Sri Mohd. Najib bin Tun Abdul Razak
Tuan Yang di-Pertua, bagi keseluruhan pelaksanaan Rancangan Malaysia Kesebelas ini, kerajaan akan menyediakan siling peruntukan perbelanjaan pembangunan sebanyak RM260 bilion sepanjang tempoh 2016 hingga 2020.
Tuan Yang di-Pertua, yang masih lagi Tuan Yang di-Pertua.
[Ketawa] [Tepuk] Saya cukup senang hati Tuan Yang di-Pertua masih lagi Tuan Yang di-Pertua. Seandainya dan sekiranya dikabul dan diperkenankan oleh Allah jua, realitinya dalam pada kita menongkah separuh jalan rancangan ini, tinggal hanya setahun dua sahaja lagi era yang disebut sebagai pasca atau beyond 2020. Meskipun dengan segala perencanaan yang kita perbuat ini, gambaran dan warna Malaysia, pasca 2020 nanti adalah amat penting untuk dijiwai suasana dan keadaan kala itu. Barulah kita dapat berfirasat dalam meneruskan momentum pertumbuhan dan rentak perjalanan sebuah kelana negara ini supaya tidak tersasar. Ini bermaksud bayangan dan corak Malaysia contohnya, pada tahun 2030 antaranya jumlah penduduk mencecah kira-kira 36 juta. Kadar urbanisasi meningkat pada 80%. KDNK sebanyak RM2.6 trilion, KDNK per kapita pula melebihi RM117,000 dan perdagangan dunia dijangka menjangkau USD44 trilion.
Apa yang terlebih utama, kita mahu adalah wujudnya National Consensus atau Kesefahaman Nasional tentang hala tuju negara pasca 2020. Berbalik pada dan berpasak kepada pelbagai prakarsa atau inisiatif besar selama bertahun-tahun ini, seperti Bajet 2015 telah dirangka atas keseimbangan antara capital economy dan people economy. Tatkala berdepan dengan ketidaktentuan harga minyak dan kemelut ekonomi global, pada awal tahun ini pula kerajaan tanpa melengah telah membuat pengumuman khas untuk mengambil langkah-langkah proaktif mengubah dasar-dasar bagi memastikan negara kekal berada di trajektori dan landasan yang betul lagi tepat.
Ini membuktikan Kerajaan Barisan Nasional adalah sebuah kerajaan yang pragmatik dan sistematik dalam menyusun dan mencartakan [Tepuk] apa jua kepentingan rakyat. Sekalipun dalam banyak hal kita telah buat habis baik, sebegini-begini, namun ditohmahnya pula oleh orang begitu-begitu.
Tuan Yang di-Pertua, dalam hal lain apabila kerajaan dengan ikhlasnya pula memutuskan supaya subsidi pukal diganti dengan subsidi bersasar agar bantuan dapat diberi terus kepada golongan yang sangat memerlukan melalui BR1M, tiba-tiba dituduh dan diperkata pula sekian-sekian. Tuan Yang di-Pertua, berkenaan GST, umum berpendapat ia adalah baik untuk negara. Namun, setelah mendengar rungutan dan hingga berlakunya kekeliruan kepada rakyat, kita perakui sistem ini mengambil masa bagi proses pelaksanaannya yang lebih efisien dan dapat memuaskan kesemua pihak.
Sehubungan ini, saya hendak nyatakan dalam Dewan yang mulia ini, rakyat sekalian janganlah gundah dan runsing kerana pihak kerajaan akan memaklumkan tentang hasil kutipan GST ini, ke arah mana perbelanjaannya. Oleh kerana itu, pagi ini saya bagi pihak kerajaan yang menepati janji akan menegaskan bahawa kita akan memastikan hasil GST akan diperuntukkan kembali kepada manfaat dan keperluan rakyat keseluruhannya.
[Tepuk] Tuan Yang di-Pertua, walaupun mutakhir ini pelbagai dugaan dan rintangan dihadapkan, saya dan pihak kerajaan memilih hanya satu jalan iaitu terus melangkah ke hadapan dan sekali-kali tidak akan berbalik haluan.
[Tepuk]
[Dewan riuh]
Perdana Menteri - Dato’ Sri Mohd. Najib bin Tun Abdul Razak
Ternyata benarlah kata-kata para alim dan pujangga, hidup ini sememangnya adalah sebuah perjuangan.
“Laksana lautan yang jarang tenang. Sekali ombak naik, sekali ombak turun”. Pergantian musim hujan dan musim panas, adakala susah dan adakala masa senang. Justeru, saya menyeru kepada rakan-rakan yang setia, sekiranya kita bersabar…
[Dewan riuh]
Perdana Menteri - Dato’ Sri Mohd. Najib bin Tun Abdul Razak
Seandainya kita terus kukuhkan kepercayaan juga keyakinan di dada, bertawakallah kepada Yang Maha Kuasa, kelak akan terbentanglah jalan keluar dan kemenangan buat kita.
[Tepuk] Begitulah kita wajib menghitung doa dan berharap bahawa Rancangan Malaysia Kesebelas ini akan disokong dan menepati semua lapisan. Tidak kiralah pak tani di kebun, pesawah di bendang, para nelayan, golongan kolar biru dan putih, ahli korporat ataupun cendekiawan, hatta saudara saudari kita di seberang sana, saya mengajak agar sama- sama mendukung usaha murni kerajaan untuk menjulang Malaysia, gagah dan megah di persada antarabangsa.
[Dewan riuh]
Perdana Menteri - Dato’ Sri Mohd. Najib bin Tun Abdul Razak
[Tepuk] Tuan Yang di-Pertua, sesungguhnya perjuangan ini adalah perjuangan yang murni demi bangsa Malaysia dan pertiwi.
[Dewan riuh]
Perdana Menteri - Dato’ Sri Mohd. Najib bin Tun Abdul Razak
Sememangnya jua beban dan amanah yang sedang digalas ini adalah berat dan memerlukan jiwa-jiwa besar serta kekuatan dari segenap penjuru. Tuan Yang di-Pertua, barulah sebuah negara bangsa yang maju dan berjaya dapat dijelmakan.
Dato’ Haji Mahfuz bin Haji Omar - Pokok Sena
Hidup Tun Mahathir. [Dewan riuh]
Dato’ Sri Mohd. Najib bin Tun Abdul Razak
Pucuk pangkalnya janganlah dipersiakan apa yang sudah kita secara susah payah raih dan kecapi, jauh sekali meruntuhkannya. Nauzubillah. Kelak menyesal tidak berguna lagi. Lantas, marilah kita merenung bait-bait lagu kebangsaan.
“Negaraku, Tanah tumpahnya darahku, Rakyat hidup bersatu dan maju”.
[Tepuk] Itulah tema, itulah rahsia kecemerlangan kita selama ini. Disimpulkan kalam, *“Ya Ilahi, Ya Rabbi, satukanlah hati-hati kami, berkatilah perjuangan ini seraya kita maktub dan keramatkan Rancangan Malaysia Kesebelas ini”.
[Tepuk] [Yang Amat Berhormat Perdana Menteri menjulang buku Rancangan Malaysia Kesebelas] [Semua Ahli Yang Berhormat kerajaan menjulang buku Rancangan Malaysia Kesebelas]*
[Dewan riuh]
Dato’ Sri Mohd. Najib bin Tun Abdul Razak
Tuan Yang di-Pertua, Ahli-ahli Yang Berhormat, pastinya...
[Dewan riuh]
Dato’ Sri Mohd. Najib bin Tun Abdul Razak
Setiap satu amal dan setiap satu usaha kita akan dipersaksi oleh masa dan dihakimi oleh waktu. Bak kata orang dulu-dulu, “Yang benar tetap benar, buktinya kelak jadi sejarah”.
[Dewan riuh]
Dato’ Sri Mohd. Najib bin Tun Abdul Razak
[Tepuk] Tuan Yang di-Pertua, saya mohon mencadangkan.
Dato’ Haji Mahfuz bin Haji Omar - Pokok Sena
Hidup Tun Mahathir.
Perjuangan belum selesai.
Tuan Yang di-Pertua
Ada Ahli-ahli yang menyokong?
[Dewan riuh]
Timbalan Perdana Menteri - Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin bin Mohd. Yassin
Tuan Yang di-Pertua, saya menyokong penuh usul Rancangan Malaysia Kesebelas yang telah pun dibentangkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri.
Dato’ Haji Mahfuz bin Haji Omar - Pokok Sena
Hang Setia ini.
[Ketawa]
Tuan Yang di-Pertua
Ini Ahli-ahli Yang Berhormat, saya dengar tadi suara-suara yang mengganggu sewaktu Yang Amat Berhormat membentang Rancangan Malaysia Kesebelas. Yang Berhormat Pokok Sena, Yang Berhormat Gombak dan yang lain-lain.
Dalam perbahasan nanti saya ambil maklum dan mungkin saya tidak akan benarkan untuk berhujah.
[Dewan riuh]
Tuan Yang di-Pertua
Ahli-ahli Yang Berhormat, seperti mana Yang Berhormat sekalian sedia maklum melalui notis pemberitahuan dan takwim yang telah diedarkan, sebanyak sembilan hari telah diperuntukkan bagi memutuskan usul ini dan sebanyak enam hari iaitu 25 Mei hingga 9 Jun 2015 telah diperuntukkan untuk perbahasan dan tiga hari iaitu 10 Jun hingga 15 Jun 2015 untuk kementerian-kementerian menjawab ke atas perbahasan usul berkenaan.
Perbahasan ke atas usul Rancangan Malaysia Kesebelas ini akan bermula pada hari Isnin 25 Mei 2015. Oleh yang demikian, Mesyuarat Dewan hari ini ditangguhkan sehingga jam 10 pagi pada hari Isnin, 25 Mei 2015. Mesyuarat ditangguhkan.
[Dewan ditangguhkan pada pukul 12.44 tengah hari]