Mar092015

Katalog Hansard

Dewan Rakyat
  Disahkan

[Tuan Yang di-Pertua mempengerusikan Mesyuarat]

final • 10:45 AM
ISTIADAT PEMBUKAAN PENGGAL KETIGA MAJLIS PARLIMEN YANG KETIGA BELAS

Tuan Yang di-Pertua

Ahli-ahli Yang Berhormat, Persidangan Parlimen Yang Ketiga Belas, Penggal Ketiga yang diadakan bersama di antara Dewan Negara dan Dewan Rakyat sekarang berlangsung.

Persidangan ini adalah di bawah Perkara 60, Perlembagaan Persekutuan di mana Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong akan bertitah kepada Ahli-ahli kedua-dua Majlis Parlimen bersama.

Sekarang saya tempohkan persidangan buat sementara waktu untuk menyambut keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Persidangan ditempohkan.

final • 10:45 AM

[Mesyuarat ditempohkan pada pukul 10.50 pagi]

[Mesyuarat disambung semula pada pukul 11.00 pagi]

Tuan Yang di-Pertua

[Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong ke Dewan Mesyuarat dan bersemayam di Peterana Diraja] [Yang Amat Berhormat Perdana Menteri mempersembahkan Titah Ucapan Diraja kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong]

final • 11:00 AM
TITAH SERI PADUKA BAGINDA YANG DI-PERTUAN AGONG
ALMU’TASIMU BILLAHI MUHIBBUDDIN TUANKU ALHAJ ABDUL HALIM MU’ADZAM SHAH IBNI ALMARHUM SULTAN BADLISHAH

Bismillaahir Rahmaanir Rahiim, Alhamdulillahi Rabbil ‘Alamin Wabihi Nasta’iin Assalamualaikum Warahmatullaahi Wabarakaatuh dan Salam Sejahtera Yang di-Pertua Dewan Negara, Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Ahli-ahli Dewan Negara dan Ahli-ahli Dewan Rakyat sekalian.

Alhamdulillah, Beta memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala, kerana dengan limpah kurnia dan izin-Nya dapat kita bersama-sama pada hari ini dalam Istiadat Pembukaan Penggal Ketiga, Parlimen Ketiga Belas.

Ahli-ahli Yang Berhormat, sukacita Beta mengajak Ahli-ahli Yang Berhormat menjadikan penggal Parlimen ini sebagai waktu terbaik untuk membuka lembaran baru, dengan niat dan tekad yang positif, setelah negara mengharungi pelbagai cabaran dan dugaan di sepanjang tahun 2014. Beta berharap segala ujian yang ditempuhi lebih menguatkan Malaysia sebagai satu negara bangsa yang berdaulat demi masa depan yang lebih sejahtera.

Pada hemat Beta, Kerajaan telah melakukan yang terbaik sepanjang tahun 2014 dalam aspek pengurusan ekonomi dan pentadbiran negara. Beta dapat memperhatikan perubahan-perubahan positif hasil daripada Dasar Transformasi Nasional. Dasar tersebut merangkumi agenda besar transformasi negara, antaranya Program Transformasi Kerajaan atau GTP dan Program Transformasi Ekonomi atau ETP yang telah dilaksanakan secara konsisten di bawah kepimpinan Mamanda Perdana Menteri di mana negara terus makmur dan dihormati di arena antarabangsa.

Negara turut diuji dengan beberapa peristiwa yang tidak diduga seperti tragedi pesawat MH370 dan pesawat MH17 serta bencana banjir besar luar biasa di beberapa negeri. Beta dan Raja Permaisuri Agong sama berduka dan berdoa supaya ahli keluarga mangsa tragedi pesawat tersebut mendapat ketenangan dan memperoleh penyelesaian yang terbaik. Di samping itu, Beta dan Raja Permaisuri Agong juga bersimpati dan berdoa agar mangsa bencana banjir terus tabah menghadapi ujian ini.

Beta amat berbangga dan mengucapkan penghargaan kepada pegawai-pegawai Kerajaan, anggota pasukan keselamatan dan semua pihak dari pelbagai kaum yang merangkumi badan bukan Kerajaan, badan korporat, golongan belia, wanita mahupun individu yang telah menunjukkan semangat kesukarelawanan dan menyumbangkan bantuan kepada mangsa-mangsa bencana tersebut. Berbekalkan semangat waja dan jati diri tinggi serta disokong oleh asas-asas ekonomi yang kukuh, rakyat dan negara ini mampu bangkit untuk membina masa hadapan yang lestari. Beta amat yakin bahawa bersama segala kesulitan yang dihadapi ini, akan ada rahmat yang menanti, Insya- Allah. Mengambil pengajaran daripada bencana ini juga, Beta ingin mengingatkan bahawa bencana alam yang semakin ketara mutakhir ini bukan sahaja disebabkan perubahan iklim semata-mata, malah berpunca daripada ketamakan manusia dalam mengeksploitasi alam semula jadi. Oleh itu Beta menyeru semua pihak supaya sentiasa menyeimbangkan antara keperluan pembangunan dan pemuliharaan alam sekitar.

Beta juga berharap proses bantuan dan pemulihan semula infrastruktur di kawasan-kawasan yang terlibat dengan bencana banjir besar ini dapat dilaksanakan dengan kadar yang seberapa segera. Ini termasuklah pembinaan rumah-rumah kekal

final • 11:00 AM

dan pembaikan rumah-rumah yang mengalami kerosakan teruk akibat bencana tersebut. Inisiatif Kerajaan Beta untuk membina rumah-rumah kekal dalam tempoh masa yang singkat dengan menggunakan reka bentuk yang seragam amat dialu-alukan tatkala mereka yang terlibat amat memerlukan kediaman yang baru untuk meneruskan kehidupan. Justeru, Beta ingin melihat semua pihak yang terlibat termasuk kerajaan- kerajaan negeri bersama-sama berganding bahu membantu proses pemulihan dan pembangunan semula rumah-rumah mangsa terlibat. Selain itu, Beta juga menyeru persiapan yang rapi dibuat oleh Kerajaan Persekutuan dan kerajaan-kerajaan negeri serta semua pihak termasuk di peringkat akar umbi agar sentiasa bersiap siaga dalam pengurusan bencana pada masa hadapan supaya kita dapat bersama-sama menghadapi apa jua musibah yang mendatang kelak dengan lebih berkesan.

Ahli-ahli Yang Berhormat, kepada Kerajaan, khususnya Mamanda Perdana Menteri, Beta ucapkan tahniah kerana sekali lagi mencatatkan sejarah yang begitu bermakna dengan pemilihan Malaysia sebagai Anggota Tidak Tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi tempoh 2015 hingga 2016 dan pelantikan sebagai Pengerusi ASEAN 2015. Ini jelas memperlihatkan pengiktirafan masyarakat antarabangsa yang berterusan terhadap ketokohan pemimpin negara di persada antarabangsa. Sesungguhnya pencapaian ini adalah kejayaan yang amat besar yang seharusnya menjadi kebanggaan rakyat lebih-lebih lagi ia dapat meningkatkan martabat negara ke tahap yang lebih tinggi.

Beta menyambut baik usaha-usaha berterusan memperkukuh kawalan keselamatan dan ketenteraman awam khususnya menangani ancaman pengganas di Sabah, dan membendung penularan fahaman ekstrem dalam kalangan rakyat seperti kegiatan militan Islamic State. Lanjutan daripada pembentangan Kertas Putih berhubung ancaman militan, Kerajaan juga bercadang mewujudkan undang-undang berhubung anti-keganasan. Beta menyeru agar rakyat berwaspada dengan propaganda golongan ini, dan mengawasi ahli keluarga masing-masing, supaya tidak terpedaya dengan dakyah menyalahgunakan konsep jihad atas nama agama. Sama-samalah kita menghayati ajaran Islam yang sebenar.

Alhamdulillah, Beta bersyukur ekonomi negara masih berkembang meskipun negara sedang berhadapan dengan persekitaran global yang mencabar seperti kejatuhan harga minyak mentah dan komoditi serta turun-naik nilai mata wang. Ini disebabkan Kerajaan Beta telah melaksanakan strategi dan langkah-langkah yang jelas bagi memastikan asas ekonomi dan kewangan negara terus kukuh serta berdaya tahan agar pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat terus terjamin. Beta mengucapkan tahniah kepada Mamanda Perdana Menteri di atas langkah proaktif untuk menangani cabaran ini dengan menjajar semula dasar-dasar ekonomi dan melakukan konsolidasi fiskal. Dalam hal ini, walaupun hasil Kerajaan akan berkurangan, namun pembangunan ekonomi kekal seimbang, inklusif dan mampan. Perancangan pembangunan untuk kebajikan rakyat tidak dipinggirkan, bahkan ia akan diteruskan khususnya dalam memastikan kesejahteraan golongan berpendapatan rendah dan sederhana. Oleh itu, Beta mengajak semua rakyat agar bersatu, yakin dan positif pada tempoh yang mencabar ini agar segala yang dirancang dan diikhtiarkan akan terlaksana jua dengan izin Allah Subhanahu Wata’ala.

Beta juga yakin pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) akan membantu memperkukuhkan kewangan negara. Oleh itu, Beta menyeru seluruh rakyat untuk bersama-sama menjayakan inisiatif ini seperti yang dilakukan oleh rakyat di banyak negara lain yang telah melaksanakan GST, dan seterusnya dapat menikmati faedah-faedahnya dalam jangka panjang. Dalam pada itu, Beta menyeru agar Kerajaan bersama rakyat melipat gandakan aktiviti penguatkuasaan dan pemantauan bagi mengelakkan peniaga mengambil kesempatan menggunakan alasan GST untuk menaikkan harga yang boleh membebankan rakyat kelak.

final • 11:00 AM

Ahli-ahli Yang Berhormat, tahun ini berakhirnya Rancangan Malaysia Kesepuluh, dan bagi memastikan kesinambungan pembangunan sosioekonomi negara, Kerajaan Beta akan membentangkan Rancangan Malaysia Kesebelas di Dewan yang mulia ini.

Penggubalan Rancangan Malaysia Kesebelas adalah lebih mencabar kerana ia juga perlu memberi perhatian kepada usaha-usaha mitigasi dan pemulihan pasca bencana banjir luar biasa, selain menangani cabaran global. Beta berharap Ahli-ahli Yang Berhormat dapat membahaskannya secara jujur dan konstruktif demi kebajikan dan kesejahteraan rakyat. Semua pihak hendaklah menumpukan usaha yang lebih bersungguh-sungguh untuk membangunkan negara, memandangkan kita hanya mempunyai tempoh lima tahun lagi untuk mencapai status negara maju berpendapatan tinggi pada tahun 2020.

Selaras dengan strategi pengukuhan ekonomi dan daya saing negara, usaha- usaha untuk meningkatkan pelaburan dan mengukuhkan perdagangan perlu dipergiatkan, terutamanya dengan kewujudan Komuniti Ekonomi ASEAN. Selain itu, penubuhan Majlis Eksport Negara akan memperkukuhkan rantaian eksport produk, logistik dan pengeluaran bagi melonjakkan eksport negara. Di samping Kerajaan menyediakan persekitaran pelaburan yang kondusif, rakyat juga perlu memainkan peranan dengan mengekalkan keharmonian dan kestabilan negara bagi menambat hati pelabur.

Ahli-ahli Yang Berhormat, dalam sektor pertanian pula, Beta berharap pelaksanaan Dasar Agromakanan Negara terus dimantapkan dengan usaha-usaha baharu yang menekankan kepada teknologi tinggi bagi menambah pengeluaran, menghasilkan produk-produk baharu bernilai tambah tinggi serta berupaya memenuhi permintaan yang semakin meningkat termasuk dari luar negara. Beta juga sukacita dengan kejayaan Kerajaan mencapai kesepakatan dengan negara-negara strategik untuk menstabilkan harga getah sebagai strategi mengatasi masalah kejatuhan harga komoditi tersebut. Beta berharap kerjasama seperti ini dapat dipertingkatkan bagi menstabilkan harga komoditi lain. Pada masa yang sama Kerajaan Beta akan sentiasa membantu pekebun-pekebun kecil supaya pendapatan mereka tidak terjejas melalui pemberian bantuan dan insentif serta akan terus memperkasakan dan meningkatkan daya saing industri sawit dan getah.

Sektor pelancongan dan industri kreatif adalah antara penyumbang utama kepada pendapatan negara. Oleh itu Beta menyeru Kerajaan agar lebih agresif memperkenalkan produk-produk pelancongan baharu dan pada masa yang sama dapat menonjolkan kepelbagaian kebudayaan dan kesenian negara yang mampu menarik lebih ramai pelancong terutama dari luar negara. Pada masa yang sama, rakyat juga mempunyai peranan dalam mewujudkan persekitaran yang bersih dan suasana yang mesra pelancong di samping mempromosi tempat-tempat menarik melalui pelbagai saluran media termasuk media sosial.

Ahli-ahli Yang Berhormat, kerajaan Beta akan sentiasa mendapat maklum balas konstruktif dari semua pihak susulan pelaksanaan program-program di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 hingga 2025 dan pada masa yang sama akan terus melaksanakan penambahbaikan ke atas program-program tersebut. Selain itu, inisiatif Kerajaan menekankan bidang pendidikan vokasional dan teknikal telah mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat dalam usaha melahirkan modal insan berkemahiran tinggi. Beta juga menyambut baik pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia di peringkat Pengajian Tinggi yang memberi tumpuan melahirkan graduan berilmu, bersahsiah mulia, memiliki kemahiran keusahawanan dan memenuhi kehendak pasaran kerja. Selain itu, bagi menggalakkan rakyat Malaysia yang berdaya cipta dan berinovasi sama ada dalam kalangan usahawan, komuniti mahu pun individu, Kerajaan Beta sedang dan akan terus memperkukuh jaringan inovasi sosial berasaskan sains, teknologi dan inovasi.

final • 11:00 AM

Kerajaan Beta terus komited terhadap pengukuhan dan penyerlahan potensi belia untuk membuka peluang kepada generasi belia menerajui kepimpinan pada usia muda dan bersama-sama mencorakkan masa hadapan ke arah negara maju. Golongan belia hendaklah bangkit untuk menyahut cabaran ini dengan bersama-sama menjayakan Dasar Belia Malaysia yang diberi nafas baru, di samping berusaha bersungguh-sungguh meningkatkan pembangunan jati diri bagi menghadapi persekitaran dunia yang semakin mencabar.

Sesungguhnya Perkhidmatan Awam adalah salah satu tonggak kepada pembangunan negara. Beta berbangga transformasi Perkhidmatan Awam telah mula menunjukkan kejayaan ke arah meningkatkan prestasi dan integriti serta merakyatkan Perkhidmatan Awam. Ini antara lain, terbukti melalui pencapaian Malaysia yang berjaya menduduki tempat kelapan belas pada tahun 2014 berbanding kedudukan kedua puluh pada tahun 2013 dalam Indeks Menjalankan Perniagaan oleh Bank Dunia. Tidak mustahil kedudukan ini boleh ditingkatkan lagi agar setanding dengan negara-negara maju pada masa hadapan. Oleh itu, Beta menyeru agensi-agensi Kerajaan supaya sentiasa kreatif dan inovatif mencari jalan untuk meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan.

Negara telah membuktikan kesungguhan dalam inisiatif-inisiatif pencegahan rasuah dengan pencapaian memperbaiki kedudukan dalam Indeks Persepsi Rasuah 2014. Semoga indeks ini akan terus meningkat di kedudukan yang lebih baik pada masa hadapan melalui komitmen semua pihak bersama-sama Kerajaan memerangi rasuah secara menyeluruh agar perbuatan terkutuk ini dapat dibanteras. Ingatlah, rezeki yang halal itu akan melahirkan generasi yang mulia.

Ahli-ahli Yang Berhormat, Beta bersyukur usaha-usaha meningkatkan kualiti hidup dan kesejahteraan rakyat terus menjadi agenda penting Kerajaan agar kemakmuran negara dapat dinikmati oleh segenap lapisan rakyat dengan saksama.

Oleh itu, Kerajaan akan terus melaksanakan projek-projek pembangunan termasuk yang berimpak tinggi di bandar yang mampu menjana aktiviti dan pertumbuhan ekonomi, menyediakan peluang pekerjaan serta meningkatkan hasil Kerajaan yang kemudiannya disalurkan untuk pembangunan luar bandar. Tumpuan akan terus diberikan kepada pembangunan luar bandar dengan melaksanakan projek-projek kemudahan asas secara meluas dan inklusif terutamanya di kawasan pedalaman Semenanjung, Sabah dan Sarawak termasuk perkampungan Orang Asli. Selain itu pelaksanaan program-program transformasi luar bandar akan diteruskan.

Kesihatan amat penting untuk kehidupan bahagia dan kesejahteraan ekonomi.

Justeru, Kerajaan Beta sedang berusaha melaksanakan Transformasi Sistem Kesihatan Negara untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan agar lestari dan lebih responsif terhadap keperluan kesihatan rakyat. Kerajaan Beta juga akan memastikan rakyat terutama golongan berpendapatan rendah dapat menikmati perkhidmatan kesihatan awam yang berkualiti dan perkhidmatan kesihatan swasta pada caj yang berpatutan.

Perkhidmatan penjagaan dan fasiliti kesihatan akan dipertingkatkan untuk memenuhi keperluan rakyat di bandar dan luar bandar. Pada masa yang sama, Beta menyeru rakyat terus meningkatkan amalan gaya hidup sihat dan menjaga kebersihan persekitaran dalam membendung kes-kes penyakit berjangkit atau tidak berjangkit.

Kerajaan Beta akan meneruskan usaha-usaha untuk menambah baik infrastruktur dan kemudahan pengangkutan awam, memperkasakan industri bekalan elektrik serta meningkatkan kecekapan perkhidmatan bekalan air di seluruh negara.

Menyedari keperluan perumahan adalah isu yang berbangkit secara berterusan berikutan pertambahan penduduk, Kerajaan Beta sentiasa berusaha mencari mekanisme terbaik bagi memenuhi keperluan tersebut terutamanya untuk rakyat berpendapatan rendah dan sederhana. Ini termasuk menyediakan perumahan dengan harga yang berpatutan serta memudahkan golongan sasar mendapat pembiayaan.

final • 11:00 AM

Selain daripada isu perumahan, bagi meningkatkan pendapatan rakyat, Kerajaan turut memberi perhatian kepada pelaksanaan gaji minimum. Beta berharap pihak majikan sektor swasta dapat mencari pendekatan yang terbaik dengan pihak pekerja untuk melaksanakan gaji minimum secara berkesan demi kebaikan bersama.

Beta berpuas hati program kebajikan produktif akan terus ditambah baik bagi membantu penerima bantuan lebih berdikari. Berkaitan dengan ini juga, dasar dan undang-undang sedia ada mengenai institusi keluarga dan kanak-kanak akan diperkukuhkan. Khusus bagi golongan wanita, Beta berharap usaha yang lebih bersungguh-sungguh dilaksanakan untuk menyediakan sistem sokongan bagi membantu wanita mengimbangi tuntutan kerjaya dan keluarga yang merupakan antara cabaran sosial utama hari ini. Beta juga menyeru agar Kerajaan mempergiatkan lagi program-program untuk memperkasakan peranan wanita terutama dalam bidang ekonomi. Beta juga berterima kasih atas keprihatinan Kerajaan yang sentiasa memberi keutamaan kepada warga emas dan golongan orang kurang upaya untuk mengoptimumkan potensi diri dalam program-program pembangunan negara bagi memastikan kepentingan, kesejahteraan dan kebajikan mereka terpelihara.

Ahli-ahli Yang Berhormat, sesebuah negara majmuk seperti Malaysia amat memerlukan keharmonian dan kerukunan hidup antara rakyatnya yang pelbagai agama, kaum dan budaya. Beta yakin setiap rakyat cinta kepada perpaduan dan keamanan, namun terdapat segelintir pihak yang cuba menggugat perpaduan dengan mengadu domba dan menyebarkan fitnah dalam kalangan masyarakat termasuk di media sosial.

Oleh itu, Beta ingin menasihatkan golongan ini supaya menghentikan terus perbuatan tidak bertanggungjawab tersebut dan pihak berkuasa hendaklah mengambil tindakan tegas terhadap pihak-pihak terbabit. Beta ingin menegaskan bahawa kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan hendaklah dipatuhi dan tidak dipersoalkan manakala agama-agama lain bebas diamalkan. Perbezaan pandangan dalam isu-isu keagamaan perlu dirujuk kepada pihak berkuasa dan tidak wajar dipolemikkan. Konsep kebebasan bersuara juga hendaklah diamalkan dengan bertanggungjawab dan tidak menimbulkan sebarang ketegangan dalam kalangan rakyat. Selain itu, sebagai sebuah negara Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan, kita sentiasa berpegang kepada prinsip keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang. Beta menyeru agar semua pihak faham bahawa sistem pemisahan kuasa di antara badan eksekutif, legislatif dan kehakiman telah dilaksanakan mengikut lunas undang-undang.

Percayalah, tidak ada yang lebih baik daripada bumi bertuah ini. Oleh itu sayangi tanah tumpah darah ini, hormati dan berbaik sangkalah antara kita, demi keharmonian dan kesejahteraan bersama.

Ahli-ahli Yang Berhormat, Malaysia, yang mengamalkan pendekatan wasatiyyah hanyalah sebuah negara kecil dalam peta dunia tetapi namanya gah setanding negara- negara lain di dunia ini. Tambah membanggakan apabila Mamanda Perdana Menteri telah memainkan peranan dalam penubuhan Indeks Maqasid Syariah Antarabangsa baru-baru ini. Ia bagi mengukuhkan komitmen Malaysia terhadap pelaksanaan syariat Islam berdasarkan matlamat Maqasid Syariah yang bertujuan memelihara agama, nyawa, akal, harta dan keturunan. Seterusnya, paling bertuah, rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama dapat menikmati hidup dalam suasana aman damai. Semua ini hanya dapat dikekalkan jika setiap rakyat bersikap hormat-menghormati dan saling bekerjasama untuk memastikan negara terus stabil dan harmoni. Oleh itu Beta menyeru semua Ahli Yang Berhormat agar sentiasa menunjukkan teladan terbaik kepada rakyat dalam memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan.

Hayatilah titah Beta ini dan berbahaslah secara berhemah dan tertib di Dewan yang mulia ini.

Beta merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada seluruh Anggota Perkhidmatan Awam, Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia serta

final • 11:00 AM

semua pihak yang telah menyumbang ke arah keamanan, pembangunan dan kemakmuran negara serta kesejahteraan rakyat.

Akhir titah, Beta dan Raja Permaisuri Agong berdoa semoga negara yang tercinta ini akan terus maju dan dilimpahi rahmat dan nikmat yang berpanjangan daripada Allah Subhanahu Wata’ala.

Sekian, Wabillahi Taufik Walhidayah, Wassalamualaikum Warahmatullaahi Wabarakaatuh.

final • 11:00 AM

Tuan Yang di-Pertua

Ahli-ahli Yang Berhormat, Persidangan Parlimen ditangguhkan sekarang.

final • 11:00 AM

[Dewan ditangguhkan pada pukul 11.47 pagi]

Tuan Yang di-Pertua

[Doa selamat dibaca oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Sahibus Samahah Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri] [Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong berangkat meninggalkan Majlis Parlimen]

final • 11:47 AM

Hak Cipta Terpelihara © 2026