Katalog Hansard
[Tuan Yang di-Pertua mempengerusikan Mesyuarat]
Tuan Yang di-Pertua
Ahli-ahli Yang Berhormat, Persidangan Parlimen Yang Ketiga belas, Penggal Pertama yang diadakan bersama di antara Dewan Negara dan Dewan Rakyat sekarang berlangsung.
Persidangan ini adalah di bawah perkara 60, Perlembagaan Persekutuan di mana Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong akan bertitah kepada ahli-ahli kedua-dua Majlis Parlimen bersesama.
Sekarang saya tempohkan persidangan buat sementara waktu untuk menyambut keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Persidangan ditempohkan.
[Mesyuarat ditempohkan pada pukul 10.50 pagi]
[Mesyuarat disambung semula pada pukul 11.00 pagi]
Tuan Yang di-Pertua
[Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong ke Dewan Mesyuarat dan bersemayam di Peterana Diraja] [Yang Amat Berhormat Perdana Menteri menyembahkan Titah Ucapan Diraja kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong]
Bismillaahir Rahmaanir Rahiim Alhamdulillahi Rabbil ‘Alamin Wabihi Nasta’iin Assalamualaikum Warahmatullaahi Wabarakaatuh dan Salam Sejahtera.
Yang di-Pertua Dewan Negara, Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Ahli-Ahli Dewan Negara dan Ahli-Ahli Dewan Rakyat sekalian.
Alhamdulillah, Beta memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala, kerana dengan limpah kurnia dan izinNya dapat kita bersama-sama pada hari ini dalam Istiadat Pembukaan Penggal Pertama, Parlimen Ketiga Belas.
Beta bersyukur kerana Pilihan Raya Umum Ketiga Belas telah dapat dilaksanakan dalam suasana yang aman. Beta menghargai peranan semua pihak terutama sekali Suruhanjaya Pilihan Raya, pasukan keselamatan serta anggota-anggota Perkhidmatan Awam dalam memastikan pilihan raya umum berkenaan berjalan lancar. Penghargaan juga kepada seluruh rakyat jelata yang telah menggunakan hak dan menunaikan kewajipan untuk memilih kerajaan bagi mentadbir negara.
Beta menyeru semua pihak menerima dan menghormati keputusan Pilihan Raya Umum Ketiga Belas yang telah diadakan mengikut lunas-lunas sistem demokrasi dan seterusnya bekerjasama serta berganding bahu bagi membolehkan negara melangkah ke depan untuk mencapai matlamat negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.
Beta percaya komitmen kerajaan dalam merealisasikan agenda transformasi nasional melalui program-program di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dan Bidang Ekonomi Utama Nasional (NKEA) akan memanfaatkan segenap lapisan masyarakat baik dari segi ekonomi, sosial, keselamatan dan politik. Dalam mencapai hasrat tersebut, Kerajaan Beta akan terus memberi penekanan terhadap nilai-nilai akauntabiliti, integriti, pematuhan undang-undang dan tadbir urus yang baik.
Beta mengucapkan tahniah kepada semua Ahli Dewan yang telah dipilih oleh rakyat. Harapan Beta kepada Ahli-ahli Yang Berhormat, berkhidmatlah kepada rakyat dengan penuh dedikasi, berintegriti dan sentiasa menunjukkan akhlak yang terpuji demi agama, maruah diri, institusi Parlimen yang mulia dan negara yang tercinta. Sematkanlah dalam sanubari bahawa kehadiran Ahli-ahli Yang Berhormat ke Dewan yang mulia ini adalah satu tanggung jawab bagi menunaikan janji-janji kepada rakyat. Semua Ahli Yang Berhormat hendaklah bersama-sama memikul amanah rakyat yang inginkan kestabilan dan kemakmuran negara berkekalan, kesejahteraan hidup terus meningkat serta perpaduan masyarakat pelbagai kaum dan agama kian utuh. Rakyat pula perlu turut sama memainkan peranan dan bekerjasama dalam membantu kerajaan merealisasikan amanah tersebut.
Beta mengucapkan tahniah kepada Mamanda Perdana Menteri dan barisan Jemaah Menterinya kerana telah berjaya membentuk kerajaan. Beta yakin kerajaan akan terus berusaha dengan gigih untuk membangunkan negara bagi mencapai matlamat menjadi negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.
Di kesempatan ini, Beta dan Raja Permaisuri Agong merakamkan ucapan takziah kepada keluarga anggota pasukan keselamatan yang telah terkorban semasa mempertahankan negara dalam insiden serangan kumpulan pengganas Sulu di Lahad Datu dan Semporna, Sabah pada bulan Mac tahun ini. Jasa, khidmat bakti dan pengorbanan Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan orang awam serta semua pihak yang terlibat dalam memelihara keselamatan di timur Sabah amat dihargai dan disanjung tinggi.
Bagi memastikan keselamatan dan kedaulatan negara terus dipelihara, kerajaan Beta telah menubuhkan Kawasan Keselamatan Khas Timur Sabah (ESSCOM) dan Zon Selamat Sabah Timur (ESSZONE).
Ahli-ahli Yang Berhormat, 7. Beta sukacita kerana semasa pemerintahan Beta yang terdahulu dan kali kedua ini, Beta telah menyaksikan kemajuan negara bergerak secara progresif. Malaysia telah berubah menjadi sebuah negara perindustrian moden berpendapatan sederhana tinggi dan kini sedang menuju ke arah menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi dengan mengutamakan kesejahteraan rakyat.
Walaupun ketidaktentuan persekitaran global termasuk krisis hutang di Eropah pada tahun 2012 secara tidak langsung telah memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi negara, namun melalui pelbagai inisiatif, kerajaan Beta telah berjaya meletakkan ekonomi negara di landasan yang kukuh.
Kedudukan daya saing Malaysia di peringkat global juga telah meningkat lebih baik seperti yang dilaporkan oleh Laporan Kajian Bank Dunia Bagi Kemudahan Menjalankan Perniagaan tahun 2013 di mana Malaysia disenaraikan negara ke-12 paling mesra perniagaan di dunia dan menduduki tangga ke-10 sebagai destinasi pilihan pelaburan langsung asing dalam Indeks Keyakinan Pelaburan Asing tahun 2012. Laporan Tahunan Bagi Daya Saing Dunia oleh IMD bagi tahun 2013 telah mengiktiraf Malaysia sebagai negara yang paling berdaya saing di kalangan 30 negara dengan keluaran dalam negara kasar per kapita kurang daripada USD 20,000, manakala di kalangan negara ASEAN, Malaysia berada kedudukan kedua di samping menduduki tangga ketujuh di dunia dari segi pencapaian ekonomi.
Tahniah Beta ucapkan di atas pencapaian cemerlang pada tahun 2012. Beta berharap pada tahun ini negara akan berjaya mencapai sasaran pertumbuhan ekonomi yang dianjurkan antara lima peratus hingga enam peratus. Beta juga berbangga dengan prestasi FBM KLCI yang mencatatkan paras tertinggi iaitu seribu tujuh ratus lapan puluh lapan perpuluhan empat tiga mata pada 14 Mei 2013 serta usaha kerajaan yang berjaya menarik pelaburan diluluskan berjumlah empat puluh sembilan perpuluhan tiga bilion ringgit dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini, iaitu peningkatan empat puluh empat peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.
Peranan sektor swasta dalam menjana pertumbuhan ekonomi negara semakin penting. Kerajaan Beta akan terus berperanan sebagai pemudah cara dan menyediakan persekitaran yang kondusif bagi meningkatkan peranan sektor swasta memacu pertumbuhan ekonomi. Dalam pada itu usaha Malaysia ke arah negara maju berpendapatan tinggi juga bergantung kepada kemajuan teknologi dan keupayaan inovasi.
Menyedari hakikat ini, Kerajaan Beta akan terus memperhebatkan aktiviti penyelidikan dan pembangunan termasuk meningkatkan usaha pengkomersialan.
Kerajaan juga akan terus berusaha untuk menarik lebih banyak pelaburan yang bernilai dan berteknologi tinggi serta mampu melonjakkan Malaysia sebagai sebuah negara pengeluar produk dan perkhidmatan yang inovatif dan kreatif. Sehubungan ini, kerajaan akan terus menyedia dan membangunkan ekosistem yang lebih kondusif bagi pelabur.
Ahli-ahli Yang Berhormat, 13. Beta mengucapkan tahniah atas inisiatif kerajaan dalam melakukan transformasi komprehensif ke atas sistem pendidikan negara melalui Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 hingga 2015. Matlamatnya adalah untuk menambah baik sistem pendidikan negara bagi menyediakan modal insan yang antaranya berpengetahuan, berkemahiran dan mampu menyumbang kepada kesejahteraan diri, keluarga, masyarakat dan negara. Beta berharap semua pihak tanpa mengira latar belakang menghayati dan memainkan peranan masing-masing untuk menjayakan hala tuju yang ditetapkan.
Kerajaan Beta akan melipatgandakan usaha bagi memartabatkan Pusat Kecemerlangan Pengajian Tinggi di Institusi Pengajian Tinggi Awan ke tahap antarabangsa, termasuk memperbanyakkan penyelidikan berimpak tinggi dalam bidang-bidang strategik.
Agenda Pembangunan Holistik Pelajar pula akan diteruskan dengan fokus kepada Program Keusahawanan dan Program Kesukarelawan Siswa. Pelan Hala Tuju Bakat 2020 turut dilancarkan bagi menangani isu ketersediaan modal insan bagi memacu transformasi ekonomi negara.
Ahli-ahli Yang Berhormat, 15. Pelbagai pihak telah mengiktiraf Malaysia sebagai antara destinasi pelancongan terbaik dunia. Kuala Lumpur misalnya telah diiktiraf sebagai Destinasi Keempat Membeli Belah Terbak Dunia berdasarkan kajian CNN Travel 2012. Begitu juga dengan Program Inap Desa yang telah dianugerahkan tempat pertama oleh Pertubuhan Pelancongan Sedunia Ulysses 2012. Beta menyeru rakyat untuk terus memberi sokongan kepada industri pelancongan terutama bagi program Tahun Melawat Malaysia 2014, dengan memupuk budaya dan amalan positif yang dapat memikat hati pelancong.
Kerajaan Beta telah menggubal Dasar Komoditi Negara bagi mentransformasikan dan memperkukuh sektor perladangan dan komoditi yang merupakan salah satu tunjang utama ekonomi negara. Antara sasaran dasar ini ialah meningkatkan pendapatan eksport komoditi daripada seratus tiga belas bilion ringgit pada tahun 2010 kepada dua ratus empat puluh dua bilion ringgit menjelang tahun 2020, yang mana faedahnya akan turut dinikmati oleh pekebun-pekebun kecil.
Kerajaan Beta memandang serius kepentingan jaminan bekalan makanan memandangkan sektor pertanian terdedah kepada kesan perubahan iklim dunia dan harga bahan makanan yang tidak menentu di pasaran global. Justeru, pendekatan yang holistik dalam membangunkan industri agromakanan akan diteruskan termasuk pembukaan empat jelapang padi baru di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
Ahli-ahli Yang Berhormat, 18. Perkhidmatan Awam telah berjaya memainkan peranan penting dalam merealisasikan Dasar Transformasi Nasional yang merangkumi Program Transformasi Kerajaan, Ekonomi, Politik dan Sosial. Program-program ini telah berjaya memberi sumbangan besar kepada pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan rakyat. Beta berharap penjawat awam meneruskan usaha penambahbaikan penyampaian perkhidmatan berdasarkan tiga aspek iaitu perkhidmatan yang cepat, tepat dan berintegriti, selain berfikiran kreatif, inovatif dan menekankan produktiviti.
Beta berbangga atas kejayaan kerajaan mengurangkan kadar kemiskinan kepada satu perpuluhan tujuh peratus pada tahun lalu dan seterusnya telah mencapai lebih awal sasaran Rancangan Malaysia Kesepuluh bagi mengurangkan kadar keseluruhan kemiskinan rakyat kepada dua peratus pada tahun 2015. Pelbagai program dan inisiatif akan terus dilaksanakan di luar bandar, antaranya melalui usaha-usaha mempergiatkan pembangunan ekonomi berdaya saing dan maju, dengan disokong oleh penyediaan infrastruktur untuk penduduk. Sehubungan itu Kerajaan Beta akan memperkukuhkan lagi Program Transformasi Luar Bandar dengan menambah bilangan Pusat Transformasi Luar Bandar. Kerajaan juga akan meneruskan program meningkatkan pendapatan dan kualiti hidup golongan isi rumah berpendapatan empat puluh peratus terendah termasuk masyarakat Orang Asli di Semenanjung serta kumpulan-kumpulan etnik peribumi di Sabah dan Sarawak.
Program Transformasi FELDA akan diteruskan antaranya dengan memantapkan program pendidikan dan latihan kepada generasi baharu supaya lebih berkemahiran, berinovatif dan berkualiti. Sebagai langkah untuk melibatkan generasi baharu dalam pembangunan ekonomi di rancangan, FELDA akan memperluaskan pembinaan rumah melalui Program Sentuhan Kasih supaya mereka terus menetap di rancangan.
Ahli-Ahli Yang Berhormat, 21. Selaras dengan hasrat untuk membolehkan rakyat memiliki rumah sendiri, Kerajaan Beta akan membina sejuta rumah mampu milik termasuk lima ratus ribu unit di bawah Projek Perumahan 1Malaysia yang digerakkan dengan kerjasama sektor swasta.
Penjawat awam juga mendapat perhatian kerajaan melalui Skim Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia. Di samping itu, syarat pinjaman perumahan melalui Skim Rumah Pertamaku turut dipermudahkan bagi memberi manfaat kepada lebih ramai rakyat. Beta berharap penduduk bandar dan luar bandar mendapat manfaat daripada skim-skim perumahan ini. Dalam pada itu, program-program menaik taraf kemudahan asas kawasan perumahan turut dilaksanakan bagi meningkatkan keselesaan dan keselamatan penduduk.
Sebagai usaha menggalakkan masyarakat mengamalkan gaya hidup sihat dan langkah pencegahan awal penyakit kronik, kerajaan Beta telah menyediakan perkhidmatan saringan kesihatan bagi penyakit tidak berjangkit secara percuma di hospital dan klinik
kesihatan kerajaan, termasuk Klinik 1Malaysia. Selain itu, klinik pergigian turut diwujudkan di Pusat Transformasi Bandar dan Pusat Transformasi Luar Bandar bagi memudahkan rakyat mendapat rawatan.
Ahli-Ahli Yang Berhormat, 23. Kerajaan menghargai sumbangan setiap lapisan rakyat termasuk golongan belia yang mewakili empat puluh enam peratus daripada penduduk negara. Menyedari potensi, aspirasi dan peri pentingnya golongan ini dalam pembangunan negara, transformasi pembangunan belia akan terus dilaksanakan. Antaranya melalui pewujudan Parlimen Belia Malaysia sebagai platform untuk mendengar pendapat belia. Kerajaan juga akan mengarusperdanakan program kesukarelawan yang diterajui 1Malaysia For Youth. Selain itu, Yayasan Usahawan Baharu telah ditubuhkan untuk melatih dan membimbing usahawan muda dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi serta pewujudan Dana Usahawan Muda bagi memulakan perniagaan.
Kemantapan institusi keluarga adalah penting kepada kestabilan sosial. Oleh yang demikian, Kerajaan Beta telah memperkenalkan program 1Malaysia Utamakan Keluarga dengan hasrat memperkukuhkan institusi keluarga menerusi pembentukan keluarga sejahtera, sihat dan terjalin erat dengan ikatan kasih sayang. Di bawah inisiatif ini sumber- sumber daripada semua agensi kerajaan, swasta dan badan-badan bukan kerajaan akan digembleng dalam meningkatkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan berkaitan kekeluargaan.
Beta yakin kaum wanita mampu menyahut cabaran dan terus meningkatkan potensi diri untuk memberi sumbangan lebih besar dalam semua sektor demi kecemerlangan masa depan negara. Beta mengalu-alukan pendekatan yang melibatkan perkongsian pintar dengan pihak swasta dan badan bukan kerajaan untuk meningkatkan ekonomi golongan wanita. Selain itu, Kerajaan juga akan turut merancakkan lagi inisiatif untuk mencapai sasaran tiga puluh peratus pembuat keputusan daripada kalangan wanita di sektor korporat dan menarik lebih ramai profesional wanita kembali ke pasaran pekerjaan bagi mencapai sasaran penyertaan lima pulih lima peratus wanita dalam tenaga kerja pada tahun 2015.
Ahli-ahli Yang Berhormat, 26. Kerajaan juga amat komited untuk memajukan sistem pengangkutan awam agar lebih efisien untuk keselesaan rakyat dan pada masa yang sama akan terus memberi sumbangan kepada pertumbuhan ekonomi dengan melaksanakan pelbagai pembaharuan dan inisiatif, antaranya pembinaan Aliran Transit Massa (MRT) dan Terminal KLIA 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Dalam pada itu, Beta amat bimbang dengan kadar kemalangan jalan raya yang membawa kepada kehilangan sumber manusia yang produktif serta kerugian harta benda yang melebihi sembilan bilion ringgi setiap tahun. Justeru para pengguna jalan raya hendaklah memberi kerjasama sepenuhnya kepada usaha-usaha kerajaan bagi mengurangkan kadar kemalangan di negara ini.
Ketenteraman awam dan keselamatan negara tetapi menjadi keutamaan kerajaan.
Kerajaan Beta juga akan terus berusaha untuk memperbetulkan jurang antara persepsi dan hakikat tahap keselamatan di negara ini. Di peringkat antarabangsa pula, kerajaan akan meneruskan usaha memerangi jenayah rentas sempadan dengan meningkatkan kerjasama strategik dengan negara-negara lain.
Dalam usaha pencegahan rasuah, Beta menghargai peranan yang terus dimainkan oleh kerajaan dalam memacu inisiatif pencegahan rasuah. Kewujudan institusi, undang-undang, dasar dan mekanisme pencegahan rasuah di negara ini kini telah menjadikan Malaysia antara sumber rujukan bagi negara-negara lain. Kerajaan Beta juga telah membangun dan melaksanakan Ikrar Integriti Korporat bagi mewujudkan persekitaran perniagaan yang adil, telus dan bebas daripada rasuah. Di samping itu, usaha juga terus diambil untuk memartabatkan institusi-institusi berkaitan tadbir urus agar dapat meningkatkan kecekapan sistem penyampaian kerajaan.
Kerajaan Beta komited untuk memartabatkan Islam berteraskan Maqasid Syariah dan akan terus memelihara kedudukan Islam sebagai agama bagi Persekutuan. Justeru, Beta berharap kedudukan agama Islam tidak dipersoal dan diselewengkan untuk kepentingan mana-mana pihak sehingga boleh memesongkan akidah umat Islam. Beta
juga menyeru agar rakyat membuang sifat-sifat yang membawa kepada perpecahan sebaliknya mencari titik persefahaman untuk memupuk dan mengeratkan perpaduan.
Beta amat sukacita dengan usaha Malaysia untuk mengeratkan hubungan baik dengan negara-negara lain di seluruh dunia. Beta berharap agar melalui konsep Gerakan Kesederhanaan Global, Malaysia terus memainkan peranan penting dalam mengeratkan kerjasama ASEAN serta membantu mewujudkan keamanan dan kesejahteraan global terutamanya di rantau ini dan di dunia. Beta juga menghargai komitmen kerajaan dan rakyat yang sentiasa memberi bantuan kemanusiaan dan sokongan kepada rakyat Palestin untuk mendapatkan kembali hak mereka sebagai bangsa yang merdeka dan berdaulat.
Ahli-ahli Yang Berhormat, 31. Beta ingin mengingatkan Ahli-ahli Yang Berhormat sebagai Ahli Dewan yang mulia ini agar menumpahkan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada negara serta sentiasa memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan. Janganlah berbuat sesuatu perkara yang boleh memusnahkan negara. Sebuah negara yang musnah akibat persengketaan atau mengalami kejatuhan ekonomi belum tentu dapat bangkit semula dalam tempoh yang singkat. Justeru, Beta menyeru semua Ahli Yang Berhormat supaya merapatkan saf, berganding bahu membangun dan memajukan negara.
Beta menghargai kesetiaan, dedikasi, keikhlasan dan sumbangan anggota Perkhidmatan Awam dan semua pihak ke arah pembangunan dan kemakmuran negara.
Beta turut menyanjung pengorbanan Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia serta agensi-agensi penguatkuasaan yang lain dalam menjamin keselamatan, keamanan dan kedaulatan negara.
Akhir titah, Beta dan Raja Permaisuri Agong berdoa semoga negara yang tercinta ini akan terus maju dan makmur dengan rakyatnya sejahtera, bersatu padu dan hidup aman sentosa di bawah lindungan Allah Subhanahu Wataala.
Sekian, Wabillahi Taufik Walhidayah, Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakaatuh.