Sep282012

Katalog Hansard

Dewan Rakyat
  Disahkan

[Tuan Yang di-Pertua **mempengerusikan Mesyuarat****]

final • 4:00 PM
RANG UNDANG-UNDANG
RANG UNDANG-UNDANG PERBEKALAN 2013 Bacaan Kali Yang Kedua

Perdana Menteri dan Menteri Kewangan - Dato’ Sri Mohd. Najib bin Tun Abdul Razak

Tuan Yang di-Pertua, saya mohon mencadangkan supaya Rang Undang-undang bertajuk “Suatu Akta bagi menggunakan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Disatukan untuk perkhidmatan bagi tahun 2013 dan bagi memperuntukkan wang itu untuk perkhidmatan bagi tahun itu” dibaca bagi kali kedua.

Saya mulakan lafaz ucapan Bajet 2013 dengan kalimah mulia Bismillaahir Rahmaanir Rahim dan memetik sepotong ayat dari Surah Al-Baqarah yang diturunkan di Madinah, bahawa:

“Berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan, kerana di mana sahaja kamu berada pasti Allah akan menghimpunkan kamu semua pada hari kiamat untuk menerima balasan. Sesungguhnya Allah Maha Berkuasa atas tiap-tiap sesuatu.” Tuan Yang di-Pertua, saya berdiri di Dewan yang mulia pada petang Jumaat yang berbahagia, penghulu segala hari, untuk membentangkan bajet kelima bagi pihak kerajaan semenjak mula memegang amanah selaku Menteri Kewangan Malaysia pada tahun 2008. Syukur ke hadrat Allah SWT kerana di atas limpah rahmatNya jua, kita telah menyaksikan sepanjang tempoh tersebut, melalui usaha kolektif rakan-rakan anggota pentadbiran dengan sokongan Ahli-ahli Parlimen, penjawat awam dan seluruh rakyat Malaysia, negara tercinta ini telah berjaya dilindungi daripada kesan terburuk akibat kegawatan kewangan global. Bahkan, ekonomi negara telah diletakkan di landasan pertumbuhan mapan ke arah transformasi sebagai sebuah negara maju berpendapatan tinggi. Manakala kesejahteraan rakyat pula telah dipertingkatkan secara berterusan.

Sesungguhnya, Bajet 2013 ini sebagai penerus tradisi terbaik Kerajaan Barisan Nasional memakmurkan negara dan membawa kesejahteraan kepada semua rakyat. Ia manifestasi sebuah janji yang ditepati. Sejak 55 tahun lalu, pada setiap peringkat pembangunan negara, rakyat Malaysia telah meletakkan kepercayaan mereka kepada kerajaan yang sama. Terima kasih kita ucapkan atas kepercayaan tersebut...

[Tepuk] Sekali-kali sepanjang masa dan musim berguling ia tidak pernah dikhianati, sebaliknya pada setiap ketika ia telah dibalas dengan laba pada julat berganda.

Kerajaan ini hakikatnya tidak pernah menjanjikan bulan, bintang mahupun cakerawala.

[Tepuk] Kita tidak pernah melakar lukisan yang pada hari ini tampak muluk-muluk dan indah tetapi sebenarnya berupa racun yang berbisa.

[Tepuk] Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, kita tetap menceritakan kebenaran biarpun kelat.

Kita tidak pernah mendodoi rakyat dengan dongengan lipur lara sebaliknya sentiasa menawarkan penyelesaian serta kepimpinan bitara terhadap segala permasalahan rakyat.

[Tepuk] Telah terbukti tanpa tersanggah lagi bahawa ekonomi Malaysia merupakan ekonomi berteraskan rakyat. Ia hasil wawasan dan aspirasi rakyat. Ia merupakan manifestasi kerja keras dan jerih payah rakyat. Ia sumbangan masyarakat desa dan

final • 4:04 PM

Perdana Menteri dan Menteri Kewangan - Dato’ Sri Mohd. Najib bin Tun Abdul Razak

bandar, golongan profesional serta pekerja kolar biru, petani, buruh, peladang, pekebun kecil, nelayan, guru, pensyarah dan karyawan. Didukung pula oleh para penjawat awam dan usahawan. Di atas segalanya, ia diuruskan dengan teliti dan berhemah oleh Kerajaan yang meletakkan kebajikan rakyat di atas jemalanya. Inilah formula kejayaan Malaysia.

final • 4:04 PM

Perdana Menteri dan Menteri Kewangan - Dato’ Sri Mohd. Najib bin Tun Abdul Razak

Sayugia, mengurus sebuah negara majmuk yang kompleks seperti Malaysia bukan perkara yang mudah. Ia memerlukan keikhlasan dan kebijaksanaan kerana rakyat Malaysia amat cerdik menilai yang mana intan dan yang mana kaca. Hakikatnya rakyat telah memberi mandat kepada kerajaan ini sebanyak 12 kali tanpa putus semenjak tahun 1959.

[Tepuk] Bermakna...

final • 4:10 PM

[Dewan riuh]

Perdana Menteri dan Menteri Kewangan - Dato’ Sri Mohd. Najib bin Tun Abdul Razak

Bermakna sesuatu yang betul telah dilakukan oleh kerajaan yang sedia ada.

[Tepuk] Sesungguhnya waad yang wujud ini di antara rakyat dan kerajaan selama ini, mana mungkin mampu dipunahkan waima sekuat mana pun fitnah dan mehnah melanda.

[Tepuk] Sehubungan itu, naskhah bajet yang akan saya persembahkan ini merupakan sebuah penghargaan kepada seluruh rakyat Malaysia lantaran terus meletakkan kepercayaan kepada kami di sepanjang ketika.

Tuan Yang di-Pertua, kerajaan komited dalam memastikan pertumbuhan ekonomi negara terus berkembang meskipun dalam persekitaran global yang tidak menentu dan mencabar. Asas ekonomi yang kukuh serta didukung oleh sistem monetari akomodatif telah membolehkan ekonomi negara berada di landasan teguh.

Dalam tempoh separuh pertama 2012, ekonomi negara tumbuh pada kadar 5.1% didorong terutamanya oleh kekukuhan aktiviti pelaburan dan penggunaan swasta.

Negara terus menerima kemasukan pelaburan langsung asing bersih berjumlah RM13.6 bilion selaras dengan peningkatan keyakinan pelabur terhadap Malaysia sebagai destinasi pelaburan pilihan utama.

Bagi keseluruhan tahun 2012 walaupun pertumbuhan ekonomi dan perdagangan dunia sederhana, pertumbuhan ekonomi negara dijangka akan berkembang kukuh pada kadar 4.5% hingga 5%. Pertumbuhan ini dipacu oleh pelaburan swasta sebanyak 11.7% atau mencapai RM127.9 bilion. Prestasi ini jauh lebih besar berbanding jumlah pelaburan sebanyak RM81 bilion pada tahun 2009.

Trend ini menunjukkan aktiviti pelaburan domestik semakin rancak terutamanya dengan pelaksanaan projek-projek di bawah Program Transformasi Ekonomi. Ini mendorong sektor pembinaan terus melonjak tinggi sebanyak 15.5% berbanding 4.6% pada tahun 2011.

Persekitaran ekonomi domestik yang mantap juga mendorong bursa saham mencatat prestasi yang menggalakkan. Ini terbukti dengan Indeks Komposit Bursa Malaysia telah mencecah rekod tertinggi 1,654.11 mata pada 4 September 2012. Nilai modal pasaran telah meningkat sebanyak 44% daripada RM999 bilion pada akhir tahun 2009 kepada RM1.43 trilion pada akhir Julai 2012.

[Tepuk] Pendapatan per kapita pula meningkat hampir RM31,000 pada tahun 2012 berbanding RM25,000 pada tahun 2009.

Rizab antarabangsa pada 14 September 2012 pula kekal kukuh mencatat RM432.2 bilion mampu membiayai 9.5 bulan import tertangguh dan 3.9 kali hutang luar jangka pendek.

Pada tahun 2013, berdasarkan persekitaran ekonomi global yang dijangka lebih baik, pertumbuhan ekonomi negara di unjur berkembang lebih kukuh pada kira- kira 4.5% hingga 5.5 %. Julung kalinya Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) nominal dijangka melepasi paras RM1 trilion. Pertumbuhan lebih baik ini didorong oleh pelaburan penggunaan swasta sebanyak 13.3% dan 5.7%. Sektor pembinaan dijangka terus meningkat kukuh 11.2% diikuti oleh sektor perkhidmatan pada kadar 5.6%.

Tuan Yang di-Pertua, Bajet 2013 akan menyediakan peruntukan sebanyak RM251.6 bilion bagi melaksanakan semua langkah program dan projek pembangunan, tertumpu kepada kesejahteraan rakyat dan pembangunan negara. Daripada jumlah tersebut, RM201.9 bilion adalah bagi perbelanjaan mengurus dan RM49.7 bilion bagi peruntukan pembangunan.

Di bawah peruntukan mengurus, sebanyak RM58.6 bilion adalah bagi emolumen dan RM33.7 bilion disediakan bagi perkhidmatan dan bekalan. Manakala RM107.3 bilion diperuntukkan kepada pemberian dan berkenaan bayaran tetap.

Sejumlah RM1.1 bilion disediakan untuk pembelian aset dan baki RM1.2 bilion untuk perbelanjaan lain.

final • 4:10 PM

Perdana Menteri dan Menteri Kewangan - Dato’ Sri Mohd. Najib bin Tun Abdul Razak

Bagi peruntukan pembangunan pula, sejumlah RM30 bilion disediakan bagi sektor ekonomi untuk menampung keperluan infrastruktur, perindustrian serta pertanian dan pembangunan luar bandar. Sejumlah RM11.1 bilion diperuntukkan bagi sektor sosial termasuk pendidikan dan latihan, kesihatan, kebajikan, perumahan serta pembangunan masyarakat. Seterusnya RM4.6 bilion diperuntukkan bagi pembangunan sektor keselamatan, RM2 bilion bagi pentadbiran am dan RM2 bilion untuk simpanan luar jangka.

Dari segi kutipan hasil, Kerajaan Persekutuan bagi tahun 2013, jumlahnya dianggarkan RM208.6 bilion berbanding RM207.2 bilion pada tahun 2012. Dengan mengambil kira anggaran hasil dan perbelanjaan, defisit Kerajaan Persekutuan akan terus berkurangan kepada 4% daripada KDNK bagi tahun 2013 berbanding 4.5% pada tahun 2012.

[Tepuk] Ini menunjukkan kerajaan komited untuk terus mengurangkan defisit fiskal ke paras yang lebih rendah.

final • 4:10 PM

Perdana Menteri dan Menteri Kewangan - Dato’ Sri Mohd. Najib bin Tun Abdul Razak

Tuan Yang di-Pertua, Bajet 2013 digubal dengan fokus untuk meningkatkan taraf hidup rakyat di seluruh negara, memastikan pertumbuhan ekonomi mampan, perbelanjaan berhemah, mengurangkan defisit fiskal negara dengan matlamat keseluruhannya mengutamakan kesejahteraan rakyat. Kerajaan akan memastikan rakyat mendapat perkhidmatan terbaik serta manfaat maksimum hasil daripada pelaksanaan program dan projek pembangunan. Oleh itu, Bajet 2012 dirangka dengan tema ‘Memakmur Negara, Mensejahtera Rakyat: Sebuah Janji Ditepati’ [Tepuk] dengan memberi penekanan kepada lima fokus utama.

Tuan Yang di-Pertua, fokus pertama merangsang aktiviti pelaburan.

Pertumbuhan ekonomi negara akan terus dipacu oleh pelaburan langsung asing dan domestik. Dalam tempoh separuh pertama 2012, pelaburan swasta meningkat kepada RM75.3 bilion berbanding RM59.8 bilion bagi tahun yang sama pada tahun 2011. Trend ini dijangka berterusan dalam tahun 2013 dengan pelaburan swasta dijangka meningkat kepada RM148.4 bilion.

Kerajaan akan terus memperhebatkan pelaksanaan 12 Bidang Utama Ekonomi Negara. Sejumlah RM3 bilion diperuntukkan bagi pelaksanaan projek permulaan bagi tahun 2013. Ini termasuk RM1.5 bilion bagi projek pertanian seperti kelapa sawit, getah, herba bernilai tinggi dan padi. Sebanyak RM500 juta diperuntukkan untuk projek River of Life bagi mengindahkan Sungai Klang manakala RM300 juta lagi untuk projek pemulihan rangkaian paip dan pembetungan bagi perkhidmatan dan kemudahan air.

Seterusnya bagi merangsang pelaburan domestik dan mempercepatkan penyertaan syarikat Malaysia dalam rantaian bekalan global, kerajaan telah menyediakan Dana Strategik Pelaburan Domestik bernilai RM1 bilion di bawah Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia. Dana ini bertujuan memanfaatkan aktiviti penyebaran luar dan pemerolehan teknologi oleh syarikat tempatan. Selain itu, kerajaan juga memperkenalkan semula insentif pengambilalihan syarikat asing dan kadar cukai khas bagi menggalakkan penyedia perkhidmatan tempatan bergabung menjadi entiti lebih besar.

Seperti kita maklum, perusahaan kecil dan sederhana memainkan peranan penting dalam transformasi ekonomi negara. Bagi mempercepatkan pertumbuhan industri PKS dan peluasan skop kawasan industri di seluruh negara, dana sebanyak RM1 bilion akan disediakan di bawah skim PKS di bawah kendalian SME Bank.

[Tepuk] Langkah ini memudahkan akses PKS untuk mendapat pembiayaan dan seterusnya memajukan perniagaan mereka. Ini selari dengan pelan induk PKS 2012 – 2020 telah dilancarkan yang bertindak sebagai dengan izin, game changer untuk mempercepatkan pertumbuhan PKS melalui inovasi dan produktiviti. Pelan induk ini melibatkan pelaksanaan 32 inisiatif termasuk enam program berimpak tinggi dengan peruntukan RM30 juta.

Dalam mempergiatkan industri halal terutamanya membangunkan produk- produk halal berimpak tinggi untuk tujuan eksport, SME Bank dengan kerjasama Bank Pembangunan Islam akan menyediakan dana industri halal sebanyak RM200 juta membiayai modal kerja PKS terlibat. Pada masa ini, terdapat 1.5 juta penjaja dan peniaga kecil menjalankan perniagaan secara tradisional dengan struktur perniagaan kecil dan pendapatan harian yang tidak menentu. Sehubungan itu, sebagai tanda keprihatinan dengan kekangan yang dihadapi oleh mereka sekiranya berlaku kemudaratan diri, hilang upaya serta kematian, kerajaan mencadangkan Skim perlindungan insurans berkelompok kepada penjaja dan peniaga kecil yang berdaftar [Tepuk] dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia. Skim ini memberi had perlindungan

final • 4:20 PM

Perdana Menteri dan Menteri Kewangan - Dato’ Sri Mohd. Najib bin Tun Abdul Razak

maksimum sebanyak RM5,000. Buat pertama kalinya, kerajaan akan membiayai skim ini dengan peruntukan sebanyak RM16 juta setahun.

[Tepuk] Di samping itu, Perbadanan Nasional Berhad akan memperkenalkan program Business in Transformation bagi menyokong usaha bersepadu memodenkan perniagaan golongan penjaja dan peniaga kecil kepada standard yang lebih tinggi dan berdaya saing dengan menggunakan model licensing ataupun franchising. Program ini akan memberi bimbingan dan khidmat nasihat ke atas konsep perniagaan baru seperti kedai bergerak, kiosk, dan perniagaan atas talian. Untuk ini, PNS akan menyediakan kemudahan kepada penjaja dan peniaga kecil dengan pinjaman sehingga RM25,000 bagi licensee dan RM500,000 kepada licensor.

Tuan Yang di-Pertua, kita bersyukur kerana dikurniakan punca galian berharga iaitu minyak dan gas asli di pesisir pantai. Kerajaan bermatlamat menjadikan Malaysia daripada sekadar pengeluar kepada salah satu hab dengan minyak dan gas bersepadu utama dunia. Jadi, kerajaan telah mengambil beberapa langkah strategik meningkatkan keupayaan negara terutamanya dalam menyediakan ekosistem yang berupaya menyokong pembangunan rantaian penapisan, penyimpanan dan dagangan.

Bagi mendukung penglibatan pengusaha swasta dalam pembangunan industri minyak dan gas, pelbagai insentif cukai dan bukan cukai istimewa telah dirangka. Ini termasuk bantuan kos pengambilalihan tanah dan bantuan kewangan sebagai tipping point projek perkongsian awam-swasta – pengecualian cukai pendapatan 100% untuk tempoh 10 tahun pengecualian cukai pegangan dan pengecualian duti setem.

[Tepuk] Bagi pelaburan dalam aktiviti penapisan produk petroleum, elaun cukai pelaburan sebanyak 100% untuk tempoh 10 tahun diberi kepada yang layak. Hasil insentif pelbagai projek pelaburan minyak dan gas bernilai USD20 bilion telah dimulakan termasuk projek PETRONAS Refinery and Petrochemical Integrated Development (RAPID), terminal simpanan minyak dan gas di Johor, Loji Regasifikasi di Melaka dan terminal minyak serta gas di Sipitang Sabah.

final • 4:20 PM

Perdana Menteri dan Menteri Kewangan - Dato’ Sri Mohd. Najib bin Tun Abdul Razak

Pada tahun lepas, kerajaan telah melancarkan program Global Incentive for Trading (GIFT) dengan galakan cukai pada kadar tiga peratus. Sehubungan dengan permintaan Global LNG yang dijangka mencecah 400 juta tan setahun pada tahun 2025 program GIFT ditambah baik dengan pengecualian cukai pendapatan seratus peratus ke atas pendapatan berkanun untuk tempoh tiga tahun pertama operasi bagi syarikat dagangan dengan dagangan komoditi yang diluluskan akan diperluaskan kepada lain-lain komoditi seperti pertanian, bahan mentah bertapis, logam asas dan kimia.

Tuan Yang di-Pertua, industri pelancongan merupakan satu sektor pertumbuhan ekonomi yang penting menyumbang hampir 12% KDNK. Jumlah pendapatan daripada sektor pelancongan dianggar akan meningkat kepada RM62 bilion pada tahun 2012. Sempena Tahun Melawat Malaysia tahun 2013/2014 kerajaan akan memperuntukkan sebanyak RM258 juta di bawah perbelanjaan pembangunan iaitu peningkatan peruntukan sebanyak 42 peratus dengan sasaran pelancong seramai 26.8 juta orang. Kerajaan juga mencadangkan lanjutan pengecualian cukai pendapatan selama tiga tahun bagi pengusaha pelancongan yang mengendalikan sekurang- kurangnya 750 pelancong asing atau 1,500 pelancong tempatan setahun.

Di sudut lain, kerajaan akan terus memberi penekanan kepada sektor pertanian dalam usaha mempertingkatkan pendapatan negara dan memastikan kelestarian jaminan bekalan makanan diperuntukkan sebanyak RM5.8 bilion kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani. Kerajaan menyediakan sebanyak RM30 juta bagi program pertanian merangkumi aplikasi, penggunaan teknologi tinggi dalam pengeluaran buah dan sayuran, peningkatan pembekalan benih berkualiti, penstabilan harga melalui jualan terus dari ladang, pewujudan pasar ikan rakyat serta penambahbaikan industri latihan pertanian. Kerajaan juga mempersiapkan sebanyak RM75 juta bagi meningkatkan pengeluaran produk makanan dan kesihatan.

Bagi sektor perladangan pula di bawah NKEA sebanyak RM432 juta disediakan untuk program penanaman semula pokok kelapa sawit. Langkah ini akan meningkatkan tuaian hasil buah sawit setahun pada kadar 26.2 tan sehektar pada tahun 2020 berbanding 21 tan sehektar pada masa kini. Di samping itu sebanyak RM127 juta disediakan untuk pembangunan bahan terbitan oleo bernilai tinggi dan dapat mengubah komposisi industri hiliran ke arah pengeluaran lebih banyak bahan terbitan.

final • 4:30 PM

Perdana Menteri dan Menteri Kewangan - Dato’ Sri Mohd. Najib bin Tun Abdul Razak

Tuan Yang di-Pertua, berkaitan kelestarian jaminan bekalan makanan pada masa akan datang, kawasan jelapang padi sedia ada akan ditambah baik dengan sistem pengurusan tanamannya secara sistematik. Sebagai tambahan empat kawasan jelapang padi baru akan dibuka dan diperluas iaitu di Kota Belud, Batang Lupar, Rompin dan Pekan.

final • 4:30 PM

[Dewan riuh]

Perdana Menteri dan Menteri Kewangan - Dato’ Sri Mohd. Najib bin Tun Abdul Razak

Pada masa ini, kawasan jelapang padi bertanam adalah seluas 389 ribu hektar yang mampu menghasilkan sebanyak 1.8 juta tan metrik. Pertambahan empat lagi kawasan jelapang padi baru seluas 19 ribu hektar dengan penyertaan seramai 12,237 pesawah dijangka menghasilkan 104 ribu tan metrik dengan perbelanjaan sebanyak RM140 juta.

Tuan Yang di-Pertua, kerajaan amat menghargai sumbangan para nelayan dan sentiasa memastikan kedudukan sosial ekonomi golongan ini bertambah baik dan pendapatan mereka meningkat. Pada masa ini, kerajaan memberi elaun bantuan sara hidup RM200 sebulan yang dapat memanfaatkan 55 ribu nelayan berdaftar.

Kerajaan juga menyediakan insentif pada kadar 10 sen hingga 20 sen sekilo bagi menggalakkan nelayan mendaratkan hasil tangkapan di jeti-jeti berdaftar di seluruh negara. Kerajaan juga telah memperkenalkan skim perlindungan insurans nelayan dengan pelindungan maksimum RM100 ribu. Meneruskan hasrat ini bagi tahun 2013, kerajaan akan memperuntukkan RM230 juta sebagai insentif tangkapan ikan dan bayaran elaun bantuan sara hidup nelayan. Di samping itu, berdasarkan peruntukan RM300 juta pada Bajet 2012 program pembangunan dan pembaikan rumah nelayan sedang giat dijalankan.

Bagi membantu para petani mengurang kos pengeluaran pula, kerajaan akan meneruskan pembelian subsidi dan insentif pertanian sedia ada berjumlah RM2.4 bilion. Bantuan ini termasuk subsidi dan insentif untuk sektor padi yang merangkumi pembelian subsidi harga padi RM480 juta pemberian subsidi baja padi RM465 juta, insentif peningkatan hasil padi RM80 juta, insentif pengeluaran padi RM563 juta.

Subsidi harga beras RM528 juta dan subsidi benih padi sah RM85 juta.

Selaras dengan komitmen untuk menjaga kebajikan rakyat terutama pengusaha sawah buat julung kali kerajaan akan memperkenalkan Skim Perlindungan Takaful padi. Skim ini memberi kemudahan perlindungan kepada pengusaha sawah di bawah 10 hektar dan dijangka dapat manfaatkan 172,000 pesawah. Jumlah pampasan yang dapat diterima dianggarkan bernilai RM13,000 setiap pesawah.

[Tepuk] Buat permulaan kerajaan akan memperuntukkan RM50 juta.

Selain itu kerajaan akan meneruskan Projek Azam Tani yang diperkenalkan pada tahun 2011. Program ini telah berjaya mengeluarkan seramai 1,234 keluarga daripada garis kemiskinan dengan purata pendapatan meningkat di antara RM200 hingga RM2,000 sebulan. Malah beberapa peserta telah berjaya mendapat pendapatan melebihi RM10,000 sebulan. Untuk memperkasakan lagi usaha ini sebanyak RM41 juta akan diperuntukkan bagi memberi manfaat kepada 6,730 peserta.

Tuan Yang di-Pertua, pasaran modal negara berkembang pesat walaupun tidak terdapat ketidaktentuan dalam ekonomi global. Malaysia terus menerajui terbitan sukuk dengan menyumbang 71 peratus atau RM171 bilion daripada jumlah terbitan sukuk global bilion dalam tempoh tujuh bulan pertama 2012. Ini terbukti dengan terbitan sukuk tunggal terbesar di dunia oleh PLUS Berhad bernilai RM30.6 bilion.

Di samping itu Industri Pengurusan Dana dan Amanah saham menunjukkan pertumbuhan kukuh dalam tempoh pertama tahun 2012 dengan aset yang diuruskan meningkat kepada RM451.9 bilion dengan nilai aset bersih sebanyak RM277.8 bilion.

final • 4:30 PM

Perdana Menteri dan Menteri Kewangan - Dato’ Sri Mohd. Najib bin Tun Abdul Razak

Tuan Yang di-Pertua, pada tahun 2012 pasaran ekuiti negara telah mencatat peningkatan yang monumental dengan menyaksikan tawaran awam awal atau IPO yang bernilai RM17.4 bilion. Ia merupakan peningkatan 162% berbanding 2011.

Sejarah tercipta apabila dua daripada tiga IPO terbesar di dunia iaitu Felda Global Ventures Holdings (FGVH) [Tepuk] yang pernah didakwa kononnya bankrap, [Disampuk] dengan nilai RM9.9 bilion dan IHH Healthcare Berhad dengan nilai RM6.3 bilion telah diterbitkan. Terkini, Astro akan disenaraikan pada bulan Oktober 2012 dengan jangkaan nilai terbitan yang besar.

Untuk terus mencergaskan pasaran modal dan ekuiti negara, Suruhanjaya Sekuriti akan menyediakan rangka kerja bagi terbitan AgroSukuk untuk syarikat yang terlibat dalam sektor pertanian, terutamanya dengan kejayaan penyenaraian FGVH.

Dengan terdapatnya instrumen seperti AgroSukuk, ia dapat mengumpulkan modal bagi

final • 4:40 PM

Perdana Menteri dan Menteri Kewangan - Dato’ Sri Mohd. Najib bin Tun Abdul Razak

membiayai syarikat-syarikat pertanian dan industri asas tani. Justeru, untuk menggalakkan terbitan AgroSukuk, kerajaan mencadangkan perbelanjaan bagi menerbitkan sukuk tersebut diberi potongan cukai dua kali bagi tempoh empat tahun mulai tahun taksiran 2012 hingga 2015.

Selain daripada pelabur institusi, buat pertama kalinya, kerajaan menggalakkan pelabur runcit menyertai pasaran modal. Bagi tujuan ini, SC telah menyediakan satu rangka kerja terbitan bon dan sukuk runcit bagi membolehkan pelabur-pelabur runcit memiliki pegangan dalam pasaran bon dan sukuk. Sebagai permulaan, DanaInfra Nasional Berhad akan menerbitkan bon runcit bernilai RM300 juta pada akhir tahun 2012 untuk membiayai pembangunan projek MRT.

Bagi mendorong syarikat menerbitkan bon dan sukuk runcit, kerajaan mencadangkan perbelanjaan tambahan menerbitkan bon dan sukuk runcit tersebut diberi potongan cukai dua kali mulai tahun taksiran 2012 hingga 2015. Pada masa yang sama, pelabur individu pula diberi pengecualian duti setem ke atas surat cara yang terlibat dalam urus niaga bon dan sukuk runcit.

Suruhanjaya Sekuriti akan menubuhkan Pusat Promosi Pasaran Modal bagi memastikan keberkesanan dan promosi secara holistik pasaran modal Malaysia di peringkat antarabangsa. Pusat ini akan memastikan pendekatan bersepadu dengan menyediakan inisiatif yang konsisten untuk menempatkan Malaysia sebagai destinasi pelaburan dan pendanaan.

Bagi meningkatkan penawaran golongan profesional untuk menyokong pertumbuhan pasaran modal, SC akan memperkenalkan inisiatif Graduate Representative Program. Program ini akan dilaksanakan dengan kerjasama sektor swasta bagi melatih 1,000 graduan supaya dapat memenuhi keperluan industri sekuriti dan derivatif.

Pengendalian perniagaan melalui suatu entiti amanah mempunyai kelebihan tertentu, terutamanya daripada segi meningkatkan keupayaan untuk memperoleh sumber kewangan berdasarkan aset yang dimiliki. Dengan itu, kerajaan telah meminda Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 untuk menyediakan pilihan pengendalian perniagaan melalui struktur baru iaitu amanah perniagaan (business trust). Selaras dengan ini, kerajaan mencadangkan amanah perniagaan diberi layanan cukai sama seperti sesebuah syarikat. Seterusnya, bagi menggalakkan pembangunan amanah perniagaan, adalah dicadangkan pindah milik perniagaan, aset dan hartanah milik syarikat kepada amanah perniagaan diberi pengecualian duti setem dan pengecualian cukai keuntungan harta tanah di peringkat awal penubuhan amanah perniagaan.

Kerajaan telah menubuhkan Danajamin Nasional Berhad agar syarikat yang berdaya maju mendapat dana melalui pasaran bon pada kos yang munasabah.

Danajamin telah meluluskan jaminan berjumlah RM9.3 bilion nilai terbitan bon kepada 30 syarikat dengan RM4.2 bilion bon dan sukuk telah diterbitkan. Langkah ini telah membolehkan syarikat menjana aktiviti ekonomi dalam pelbagai sektor termasuk hartanah, infrastruktur, perladangan, minyak dan gas, pembinaan, perkilangan serta penerbangan.

Bagi merancakkan lagi akses syarikat ke pasaran modal, kerajaan akan menambah peruntukan modal Danajamin sebanyak RM400 juta dalam tempoh 2 tahun.

Suntikan ini dapat melipatgandakan nilai terbitan antara RM4 hingga RM6 bilion.

Kerajaan turut mengumumkan penubuhan Yayasan Pasaran Modal sebagai usaha bersepadu meningkatkan kompetensi dan keupayaan untuk bersaing dalam landskap pasaran modal yang lebih dinamik. Yayasan ini akan memberi fokus kepada tiga aspek utama iaitu pembangunan PKS; menggalak dan menyokong produk inovasi dan pembangunan modal insan. Sehubungan dengan itu, sejumlah RM100 juta akan disediakan kepada Yayasan ini melalui Tabung Pembangunan Pasaran Modal di bawah kawal selia SC.

Sebagai salah satu inisiatif untuk menjadikan Malaysia sebagai hab kewangan antarabangsa serta menarik FDI, kerajaan telah melancarkan Tun Razak Exchange atau TRX pada 30 Julai 2012 dengan nilai pembangunan kasar sebanyak RM26 bilion.

TRX akan memberi peluang pelaburan baru dengan menghubungkan komuniti perniagaan dan pasaran global. TRX dijangkakan menarik 250 syarikat perkhidmatan kewangan antarabangsa dan menawarkan 40,000 peluang pekerjaan mahir dan berpengetahuan.

final • 4:40 PM

Perdana Menteri dan Menteri Kewangan - Dato’ Sri Mohd. Najib bin Tun Abdul Razak

Untuk menggalakkan institusi kewangan antarabangsa utama menjadikan Kuala Lumpur sebagai pilihan pelaburan, pengecualian cukai pendapatan bagi tempoh sepuluh tahun kepada syarikat berstatus TRX, pengecualian duti setem, elaun bangunan industri, elaun modal dipercepatkan kepada syarikat berstatus TRX Marquee dan pengecualian cukai bagi pemaju hartanah telah diberikan. Kerja pembinaan awal TRX berjalan lancar mengikut jadual. Manakala, pengalihan kemudahan utiliti sedia ada di tapak TRX pula sedang giat dijalankan dan dijangka selesai pada bulan Oktober 2012.

Tuan Yang di-Pertua, kerajaan mengambil maklum bahawa Majlis Agama Islam Negeri merupakan pemegang amanah tunggal bagi semua wakaf dan dana wakaf dalam sesebuah negeri. Institusi wakaf di Malaysia tidak hanya tertumpu pada pembangunan tanah semata-mata tetapi juga merangkumi wakaf dalam bentuk tunai, saham dan instrumen kewangan lain yang dikategorikan sebagai wakaf korporat.

Selaras dengan itu, Yayasan Wakaf Malaysia di bawah Jabatan Wakaf Zakat dan Haji

(JAWHAR) akan diberi tanggungjawab untuk merangka pelan induk Wakaf Korporat mengambil kira struktur perundangan agama Islam negeri. Pelan induk ini bakal menjadi platform pembangunan Wakaf Korporat di Malaysia.

final • 4:40 PM

Perdana Menteri dan Menteri Kewangan - Dato’ Sri Mohd. Najib bin Tun Abdul Razak

Tuan Yang di-Pertua, kerajaan sentiasa komited dalam memastikan syarikat bumiputera dapat bersaing secara seimbang dalam pemilikan syarikat besar, pekerjaan berpendapatan tinggi serta pelaburan dalam sektor utama ekonomi. Pada tahun 2010 ekuiti bumiputera telah meningkat kepada 23% berbanding 22% pada tahun 2008.

Salah satu usaha ialah meningkatkan penglibatan syarikat bumiputera dalam pelaksanaan jajaran pertama Projek MRT. Sesungguhnya penglibatan syarikat bumiputera dalam projek berimpak tinggi seperti MRT akan meningkatkan keupayaan dan kemahiran syarikat bumiputera tempatan. Justeru, sebanyak RM9 bilion atau 43% daripada nilai kos infrastruktur projek MRT diperuntukkan kepada syarikat bumiputera.

Usaha juga akan diambil bagi membantu syarikat PKS bumiputera untuk berkembang dan mempertingkatkan pegangan ekuiti dalam sektor ekonomi.

Sehubungan ini dana pembiayaan bumiputera berjumlah RM1 bilion akan disediakan oleh SME Bank. Dana ini dijangka dapat membantu PKS tempatan bagi tujuan membiayai pengambilalihan anak syarikat milik GLC yang menjalankan aktiviti bukan teras dan telah dikenal pasti untuk dijual. Setakat ini dua GLC telah mengenal pasti anak-anak syarikat yang berpotensi untuk dijual kepada pelabur-pelabur bumiputera.

Kerajaan telah memperkenalkan Skim Jaminan Modal Kerja dengan dana sebanyak RM10 bilion. Bagi membantu syarikat PKS mendapatkan akses pembiayaan modal kerja. Skim ini memberi jaminan maksimum sehingga RM2.5 juta bagi setiap syarikat yang layak. Pada masa ini dana skim ini yang dikhaskan kepada syarikat bumiputera masih berbaki RM900 juta. Bagi menarik lebih banyak syarikat bumiputera menikmati kemudahan skim ini kerajaan akan melanjutkan tempoh tamat program skim ini sehingga 31 Disember 2013, memperluas skim ini kepada syarikat bumiputera berprestasi tinggi dan meningkatkan kelayakan dana pemegang saham syarikat daripada RM10 juta kepada tidak melebihi RM20 juta.

Kemudahan pinjaman secara mudah dan cepat sering kali menjadi kekangan kepada usahawan kecil terutama bumiputera. Dengan tertubuhnya Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN), usahawan kecil kini mampu memulakan dan memajukan lagi perniagaan mereka. Sehingga kini TEKUN telah menyalurkan pinjaman RM2.24 bilion kepada 224,175 usahawan kecil di seluruh negara termasuk sejumlah RM34.5 juta kepada 4,112 usahawan masyarakat India di bawah Skim Pembangunan Usahawan Masyarakat India. Bagi tahun 2013 kerajaan menyediakan peruntukan sebanyak RM350 juta termasuk daripadanya RM50 juta kepada masyarakat kaum India.

Tuan Yang di-Pertua, fokus kedua memperkasa pendidikan dan latihan.

Sememangnya sejak merdeka lagi kerajaan telah menjadikan bidang pendidikan sebagai agenda utama negara. Kerajaan telah menyedari pelaburan dalam bidang ini adalah pra syarat kepada sebuah negara yang makmur dan pembangunan rakyat yang sejahtera. Lalu setiap tahun menyaksikan peruntukan besar dan kali ini 21% daripada keseluruhan bajet namun didapati hasil diperolehi tidak setara dengan pelaburan yang telah dibuat. Maka pada 11 September lepas kerajaan melalui Kementerian Pelajaran telah melancarkan Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 bagi memastikan sistem pendidikan negara akan mampu mengoptimumkan potensi setiap anak Malaysia. Bagi Bajet 2013 sebanyak RM38.7 bilion telah diperuntukkan

final • 4:50 PM

Perdana Menteri dan Menteri Kewangan - Dato’ Sri Mohd. Najib bin Tun Abdul Razak

kepada Kementerian Pelajaran meliputi peruntukan mengurus dan pembangunan.

[Tepuk] Berbicara tentang itu, langkah meningkatkan upaya potensi dan kualiti guru merupakan prasyarat kritikal yang menunjang kejayaan sistem pendidikan negara.

Oleh itu bagi menjana mula prakarsa ini di samping RM38.7 bilion peruntukan kepada Kementerian Pelajaran bagi perbelanjaan mengurus dan pembangunan, kerajaan menyediakan peruntukan tambahan sebanyak RM500 juta bagi meningkatkan kemahiran guru dalam pengajaran subjek-subjek teras yakni bahasa kebangsaan, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik melalui pendekatan Higher Order Thinking Skills. Peruntukan ini juga merangkumi penubuhan Unit Pelaksanaan Pendidikan atau Education Delivery Unit bagi memantau dan menilai keberkesanan pelaksanaan transformasi pelan tersebut.

Tuan Yang di-Pertua, pada pembentangan Bajet 2012 kerajaan telah menyediakan sebanyak RM1 bilion di bawah Tabung Khas Pembinaan Penambahbaikan dan Penyelenggaraan Sekolah khusus bagi keperluan mendesak untuk membaik pulih bangunan sekolah, penyelenggaraan, pembelian peralatan dan pembinaan blok tambahan. Untuk meneruskan komitmen kerajaan sukacita saya mengumumkan tambahan RM1 bilion lagi kepada tabung khas ini.

[Tepuk] Daripada jumlah ini RM400 juta akan disalurkan kepada sekolah kebangsaan, RM100 juta kepada sekolah jenis kebangsaan Cina, RM100 juta kepada sekolah jenis kebangsaan Tamil, RM100 juta kepada sekolah mubaligh, RM100 juta Kepada sekolah agama bantuan kerajaan, RM100 juta kepada sekolah berasrama penuh dan RM100 juta kepada Maktab Rendah Sains Mara.

[Tepuk] Tuan Yang di-Pertua, melangkah ke ruang pendidikan awal kanak-kanak.

Kualiti pendidikan prasekolah amat penting sebagai platform melengkapkan kanak- kanak dengan pendidikan asas. Untuk tujuan ini sebanyak RM1.2 bilion disediakan bagi tujuan pendidikan prasekolah termasuk pada Jabatan Kemajuan Masyarakat, Kementerian Pelajaran, Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional dan PERMATA.

[Tepuk] Sebagai tambahan, sebanyak RM380 juta disediakan di bawah Kementerian Pelajaran untuk penempatan guru prasekolah. Berhubung perkhidmatan taska dan pusat jagaan kanak-kanak yang berkualiti, demi memastikan kanak-kanak mendapat penjagaan sempurna di samping membangunkan perkembangan minda yang positif.

Kerajaan mencadangkan insentif-insentif berikut:-

(i) geran pelancaran RM10 ribu kepada penyedia Pusat Pendidikan Awal Kanak-Kanak (ECCE) swasta untuk membantu mereka membuka taska baru yang berkualiti.

Dianggarkan 1,000 ECCE swasta baru akan mendapat manfaat;

(ii) potongan cukai dua kali ke atas elaun atau subsidi yang diberi kepada pekerja dan perbelanjaan penyelenggaraan kemudahan taska dan pusat jagaan kanak-kanak akan diberi kepada majikan;

(iii) pengecualian cukai pendapatan bagi tempoh lima tahun dan elaun bangunan industri pada kadar 10% setahun diberi kepada pengusaha taska dan pusat jagaan kanak-kanak swasta;

(iv) pengecualian cukai pendapatan untuk tempoh lima tahun dan elaun bangunan industri pada kadar 10% setahun kepada pengusaha prasekolah swasta.

Pada masa ini kita mendapati ramai kanak-kanak kurang upaya dan keluarga berpendapatan rendah yang tidak mendapat pendidikan awal kerana kekurangan taska OKU. Untuk ini kerajaan akan melaksanakan projek perintis taska OKU bagi enam kategori kanak-kanak OKU yang merangkumi down syndrome, autisme, penglihatan, pekak dan bisu, fizikal dan OKU masalah pembelajaran.

final • 4:50 PM

Perdana Menteri dan Menteri Kewangan - Dato’ Sri Mohd. Najib bin Tun Abdul Razak

Berganjak kepada soal modal insan, yang berpengetahuan, kreatif dan inovatif, program latihan akan dibentuk untuk mengasah kemahiran baru selaras dengan keperluan industri masa depan ke arah ekonomi berpendapatan tinggi dan maju.

Bagi tujuan ini, pada tahun 2013, sejumlah RM3.7 bilion akan disediakan untuk melatih pelajar dalam bidang teknikal dan vokasional. Setiap tahun hampir 180

final • 5:00 PM

Perdana Menteri dan Menteri Kewangan - Dato’ Sri Mohd. Najib bin Tun Abdul Razak

ribu graduan berkelulusan diploma dan sarjana muda menamatkan pengajian daripada institusi pengajian tinggi. Untuk membantu mereka yang masih menganggur, maka kerajaan akan melancarkan Graduate Employability Blueprint pada penghujung tahun 2012. Rangka kerja ini memberi tumpuan untuk memperkukuh kebolehpasaran graduan. Dalam hal ini, kerajaan akan menubuhkan Graduate Employability Taskforce dengan peruntukan sebanyak RM200 juta ringgit. Kerajaan telah melaksanakan Program Skim Latihan 1Malaysia atau dikenali sebagai SL1M yang bertujuan untuk meningkatkan tahap kebolehpasaran graduan melalui latihan soft-skills dan on-job- training di syarikat swasta melalui galakan potongan cukai dua kali ke atas perbelanjaan oleh pihak syarikat. Galakan ini telah diberi mulai 1 Jun 2012 sehingga tahun 2016.

Kerajaan juga memperuntukkan RM440 juta kepada Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran bagi memberi pinjaman kepada pelatih untuk menjalani latihan kemahiran. Langkah ini akan dapat memanfaatkan hampir 40 ribu pelatih di peringkat Sijil Kemahiran Malaysia tahap 1 hingga 5. Kerajaan juga memperuntukkan RM366 juta bagi menaik taraf serta pembelian peralatan Institut Latihan Perindustrian dan Institut Kemahiran Belia Negara.

Pelbagai program latihan kemahiran akan dilaksanakan selaras dengan matlamat mentransformasikan industri utama negara berteraskan kepada teknologi tinggi, berinovatif serta berpendapatan tinggi. Ke arah ini, tumpuan akan diberi bagi melahirkan tenaga kerja profesional dan berbakat di dalam industri terpilih termasuk industri minyak dan gas, perkapalan, ICT, kreatif serta bioteknologi.

Bagi tahun 2013, dijangka seramai 5,000 pelatih akan menyertainya. Di samping itu, Petronas akan menggunakan kemudahan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) di Pengerang, Johor untuk melatih seramai 300 orang belia menjelang akhir tahun ini dalam bidang minyak dan gas bagi memenuhi keperluan projek RAPID.

Kerajaan sedar tentang pelajar miskin masyarakat India terutamanya dari estet-estet yang tidak memperolehi keputusan yang baik dalam peperiksaan dan tidak berpeluang untuk mendapat pekerjaan. Selaras dengan itu, Kerajaan menyediakan peruntukan sebanyak RM50 juta untuk melatih 3,200 pelajar masyarakat India bagi memperlengkapkan mereka dengan kemahiran, selaras permintaan pasaran.

[Tepuk] Latihan ini akan dikendalikan oleh Institut Latihan Perindustrian dan kolej- kolej di bawah Skim Latihan Dual Nasional. Bagi memastikan golongan pekerja swasta adalah sentiasa sihat dan produktif dalam menyumbang kepada pembangunan syarikat dan ekonomi negara, aspek kesihatan mesti diberi keutamaan.

Untuk ini, PERKESO akan menyediakan peruntukan sebanyak RM200 juta ringgit bagi membolehkan ahlinya seramai 1.4 juta orang menjalani pemeriksaan kesihatan secara percuma di hospital kerajaan atau klinik panel PERKESO.

[Tepuk] Pemeriksaan kesihatan ini bertujuan untuk mengesan penyakit tidak berjangkit, kepada semua pekerja yang berumur antara 40 hingga 55 tahun.

Tuan Yang di-Pertua, fokus ketiga - Membudaya Inovasi, Meningkat Produktiviti. Bagi membolehkan PKS menggunakan harta intelek sebagai nilai komersial dan instrumen untuk mendapatkan pembiayaan memajukan perniagaan, satu model penilaian harta intelek akan diwujudkan bagi membenarkan ia dinilai secara komersial dan seterusnya digunakan sebagai cagaran memperoleh pembiayaan dari institusi kewangan. Bagi maksud ini, langkah-langkah berikut akan dilaksanakan:

(i) Mewujudkan skim Dana Pembiayaan Harta Intelek berjumlah RM200 juta. Skim ini akan ditawarkan oleh Malaysia Debt Ventures. Kerajaan akan memberi subsidi kadar faedah sebanyak 2% dan jaminan sebanyak 50% melalui Credit Guarantee Corporation; dan

(ii) Menyediakan peruntukan sebanyak RM15 juta bagi program latihan penilai harta intelek tempatan kendalian Perbadanan Harta Intelek serta mewujudkan platform pasaran harta intelek.

Aktiviti R&D pula akan terus diberi penekanan. Pelbagai penemuan dan hasil R&D institusi penyelidikan awam berpotensi untuk dikomersialkan. Maka, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM600 juta kepada lima buah universiti penyelidikan bagi menjalankan penyelidikan berimpak tinggi dalam bidang strategik seperti nano teknologi, automatif, bio-teknologi serta aero-angkasa.

final • 5:00 PM

Perdana Menteri dan Menteri Kewangan - Dato’ Sri Mohd. Najib bin Tun Abdul Razak

Untuk merancakkan aktiviti pengkomersialan penemuan R&D institusi penyelidikan awam, kerajaan mencadangkan galakan cukai sedia ada bagi pengkomersialan penemuan R&D berasaskan sumber diperluaskan kepada aktiviti berasaskan bukan sumber yang digalakkan di bawah Akta Penggalakan Pelaburan 1986. Galakan cukai tersebut adalah:

(i) Syarikat yang melabur dalam syarikat subsidiarinya yang menjalankan aktiviti mengkomersialkan penemuan R&D diberi potongan cukai bersamaan dengan jumlah pelaburan yang dibuat dalam syarikat subsidiari tersebut; dan

(ii) Syarikat subsidiari yang menjalankan aktiviti mengkomersialkan penemuan R&D diberi pengecualian cukai pendapatan sebanyak 100% ke atas pendapatan berkanun untuk tempoh 10 tahun.

Merujuk usahawan muda tempatan, sememangnya didapati mereka mempunyai idea dan produk inovatif yang boleh diketengahkan ke peringkat antarabangsa namun berhadapan sumber pembiayaan terhad. Oleh itu, sebagai sumber pembiayaan alternatif, penglibatan secara langsung pelabur pemangkin atau angel investors di peringkat awal perniagaan adalah amat penting bagi merealisasikan pelaburan dan daya saing syarikat teroka.

Sehubungan itu, kerajaan mencadangkan potongan cukai bersamaan jumlah pelaburan oleh pelabur pemangkin dalam syarikat teroka dibenarkan ditolak daripada semua jenis pendapatannya. Bagi memastikan pembangunan inklusif, kerajaan akan terus merancang dan melaksanakan program serta aktiviti berintensifkan pengetahuan, kreativiti dan inovasi. Menuju ke tahun 2020, menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi, inovasi akan terus diperkukuh dan diarusperdanakan dalam semua sektor dan segenap lapisan masyarakat. Melalui Bajet 2013, inisiatif ini akan diambil oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dengan kerjasama Agensi Inovasi Malaysia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO).

Dalam Bajet 2010, Kerajaan telah mewujudkan Skim Pembiayaan Teknologi Hijau (SPTH) dengan dana berjumlah RM1.5 bilion untuk tempoh tiga tahun, yang akan berakhir pada 31 Disember 2012. Dana ini membolehkan syarikat pengeluar dan syarikat pengguna teknologi hijau membuat pinjaman mudah dengan Kerajaan menanggung subsidi 2% daripada jumlah kadar faedah dan jaminan kerajaan 60%.

Sehingga kini, hampir RM800 juta telah diluluskan kepada 50 syarikat tempatan.

Bagi merancakkan lagi pengeluaran dan penggunaan produk berasaskan teknologi hijau, dana skim ini akan ditambah sebanyak RM2 bilion dan tempoh skim SPTH ini dilanjutkan untuk tempoh tiga tahun lagi iaitu sehingga 31 Disember 2015.

final • 5:00 PM

Perdana Menteri dan Menteri Kewangan - Dato’ Sri Mohd. Najib bin Tun Abdul Razak

Tuan Yang di-Pertua, fokus keempat - Konsolidasi Fiskal dan Mempercekap Penyampaian Perkhidmatan Awam. Sesungguhnya kerajaan komited dalam memastikan defisit fiskal terus berkurangan dan negara berada pada landasan yang betul bagi mencapai bajet berimbang. Dalam hal ini, semua kementerian dan agensi perlu memastikan peruntukan mengurus dan pembangunan dibelanjakan bagi perkara yang benar-benar perlu dan penting dalam menyokong pelaksanaan dasar dan program negara.

Kerajaan akan memastikan hutang Kerajaan Persekutuan tidak melebihi paras 55% kepada KDNK dan defisit fiskal terus berkurangan kepada 3% menjelang tahun 2015. Antara langkah yang akan dan telah diambil termasuk memastikan kutipan hasil ditingkatkan dengan mengukuhkan sistem percukaian dan memastikan semua perolehan dan pembelian kerajaan adalah berdasarkan prinsip value for money.

Selain daripada peralihan sistem subsidi pukal kepada subsidi bersasar, kajian semula sistem percukaian kebangsaan akan diteruskan bagi memastikan sistem cukai negara akan lebih menggambarkan kedudukan kewangan setiap isi rumah. Peralihan daripada sistem cukai berasaskan pendapatan kepada sistem cukai yang lebih menyeluruh serta saksama akan pada analisa akhirnya memanfaatkan semua rakyat Malaysia.

Langkah ini tidak dilaksanakan secara tergesa-gesa mahupun semberono tetapi setelah kajian teliti dan pelaksanaan penuh tertib. Ia tidak akan mengesankan rakyat terbanyak khususnya golongan berpendapatan rendah serta sederhana kerana perkara-perkara asas sama ada makanan, perumahan mahupun pengangkutan awam akan terus dilindungi.

final • 5:10 PM

Perdana Menteri dan Menteri Kewangan - Dato’ Sri Mohd. Najib bin Tun Abdul Razak

Pelaksanaan struktur baru cukai ini sudah menjadi sebagai satu imperatif nasional bagi memastikan kelestarian sistem kewangan negara terus utuh untuk generasi masa depan Malaysia. Kerajaan tidak akan mengelak dari mengambil tindakan yang betul walaupun ianya penuh liku.

Walau bagaimanapun, ruang masa yang mencukupi akan tetap disediakan oleh kerajaan agar semua pihak dapat membuat persiapan yang sewajarnya.

Penerimaan rakyat ke atas inisiatif baru ini akan diperolehi dengan program penerangan, pendidikan serta rundingan secara ekstensif.

Tuan Yang di-Pertua, dalam memberi perkhidmatan terbaik, penjawat awam mesti menerapkan budaya produktiviti, kreativiti dan inovasi. Amalan kerja pula mestilah cepat, tepat dan berintegriti. Langkah ini akan mencetuskan paradigma baru dan seterusnya meningkatkan keyakinan rakyat terhadap prestasi perkhidmatan awam lebih efisien, efektif serta responsif.

Kerajaan tidak lupa akan jasa pesara yang pernah mencurahkan khidmat bakti dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada negara. Sehubungan itu, kerajaan akan menyelaras semua pencen pesara kerajaan...

[Tepuk] yang telah berkhidmat sekurang-kurangnya 25 tahun dengan menaikkan pencen minimum daripada RM720 kepada RM820.

[Tepuk] Pelarasan pencen ini akan mengambil kira bayaran pencen bermula 1 Januari 2012. Langkah ini melibatkan seramai 50,371 pesara termasuk penerima pencen terbitan dengan peruntukan tambahan sebanyak RM60 juta setahun.

Sebagai pengiktirafan kepada golongan warga emas, kerajaan mencadangkan caj bayaran pemprosesan pasport dikurangkan sebanyak 50% iaitu daripada RM300 kepada RM150 untuk tempoh sah laku lima tahun.

[Tepuk] Manakala bagi caj bayaran pengurusan pasport untuk tempoh dua tahun dikurangkan kepada RM80.

Pengurangan caj bayaran pasport ini juga diperluaskan kepada kanak-kanak yang berumur 12 tahun ke bawah. Kadar bayaran baru ini akan berkuat kuasa pada Januari 2013.

Tuan Yang di-Pertua, bagi memastikan Angkatan Tentera Malaysia mempunyai modal insan berpengetahuan dan berkemahiran tinggi serta merealisasikan visi dan hala tuju strategik ATM sesuai dengan keperluan semasa, kerajaan bersetuju untuk menambah baik skim perkhidmatan ATM. Sehubungan itu, syarat lantikan bagi skim perkhidmatan ATM telah ditambah baik dengan kelayakan masuk bagi pegawai ditingkatkan kepada ijazah sarjana muda kepujian dan bagi askar laskar kelayakan masuk minimum ditingkatkan kepada peringkat SPM dan diploma berdasarkan skop tugas.

Mengambil kira keunikan perkhidmatan ATM, kerajaan bersetuju untuk meningkatkan peluang kenaikan pangkat anggota ATM melalui kaedah kenaikan secara time-based anggota berpangkat prebet ke lans koperal dan lans koperal ke koperal dalam tempoh lapan tahun dengan memenuhi syarat-syarat serta prestasi yang memuaskan. Ini adalah bagi meningkatkan peluang kemajuan kerjaya serta motivasi anggota ATM. Usaha ini akan memberi faedah kepada 78,123 anggota dan melibatkan peruntukan sebanyak RM107 juta.

Di samping itu, kerajaan juga bersetuju memberikan bayaran insentif khas dengan kadar RM200 sebulan kepada semua pegawai dan anggota ATM seramai 125,708 orang berkuat kuasa 1 Januari 2013. Langkah ini akan melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM301 juta.

Kerajaan menghargai peranan pasukan simpanan angkatan tentera sebagai pelengkap dan sokongan kepada angkatan tetap ATM. Bagi menghargai sumbangan mereka, kerajaan bersetuju untuk menyelaras elaun khidmat bertugas daripada RM4 sejam bagi anggota biasa kepada RM6 sejam dan RM5.80 sejam kepada RM7.80 sejam melibatkan 65,000 anggota simpanan angkatan tentera yang merangkumi Askar Wataniah serta Pasukan Simpanan Sukarela Tentera Laut dan Udara di seluruh negara. Kadar baru ini telah pun dikuatkuasakan untuk RELA, JPAM dan PVR sebelum ini.

Kerajaan juga tidak lupa akan jasa bakti pahlawan negara. Untuk membantu bekas tentera yang bersara awal kerana berkhidmat kurang daripada 21 tahun serta tidak berpencen, kerajaan bersetuju untuk memberi sumbangan sebanyak RM1,000 secara one off kepada mereka...

[Tepuk] Peruntukan sebanyak RM224 juta yang melibatkan 224,000 bekas tentera tetapi tidak melibatkan mereka yang ditamatkan perkhidmatan kerana kes tatatertib atau jenayah akan dikongsi bersama oleh kerajaan dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera.

final • 5:10 PM

Perdana Menteri dan Menteri Kewangan - Dato’ Sri Mohd. Najib bin Tun Abdul Razak

Kerajaan juga akan memperkenalkan Skim Perlindungan Insurans Berkelompok kepada anggota angkatan tentera dan polis yang sedang berkhidmat dengan peruntukan RM12 juta...

[Tepuk] Skim ini akan memberi had perlindungan maksimum sehingga RM15,000 kepada hampir 242,000 anggota tentera dan polis.

Pada masa ini, kerajaan meminjam sebanyak RM6 bilion setahun untuk membiayai keperluan pinjaman perumahan penjawat awam yang diuruskan oleh Bahagian Pinjaman Perumahan Kementerian Kewangan. Sebagai sebahagian daripada usaha konsolidasi fiskal dan mengurangkan beban tanggungan kewangan kerajaan, BPP akan disusun semula di mana kerajaan melantik panel bank komersial untuk menguruskan pinjaman perumahan kerajaan yang baru berkuat kuasa Januari 2013.

Segala manfaat dan bantuan sedia ada yang dinikmati oleh penjawat awam akan tetap dikekalkan malah ditambah baik. Penjawat awam masih tetap membayar 4% kadar faedah ke atas pinjaman perumahan.

Selain itu, pada masa ini wang proses dikenakan bagi setiap permohonan pinjaman perumahan penjawat awam adalah sebanyak RM1 bagi setiap RM1,000 pinjaman yang dipohon bagi pinjaman kali pertama dan RM2 bagi pinjaman kali kedua.

final • 5:10 PM

Perdana Menteri dan Menteri Kewangan - Dato’ Sri Mohd. Najib bin Tun Abdul Razak

Bagi mengurangkan beban kewangan dan memudahkan kelulusan pinjaman, kerajaan bersetuju untuk menetapkan wang proses ini pada kadar RM100 bagi setiap permohonan tanpa mengambil kira jumlah pinjaman yang dipohon.

[Tepuk] Kerajaan turut memberi perhatian untuk meringankan beban kos sara hidup bagi pelatih-pelatih yang mengikuti kursus pra perkhidmatan di peringkat ijazah, diploma dan sijil. Dengan ini kerajaan bersetuju menaikkan kadar elaun pra perkhidmatan yang melibatkan 31,135 pelatih. Skim perkhidmatan yang terlibat adalah Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah, Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran, Penolong Pegawai Perubatan, Penolong Pegawai Farmasi, Juru X-Ray, Jururawat, Jururawat Pergigian, Jurupulih Perubatan, Juruteknologi Makmal Perubatan, Juruteknologi Pergigian, Jururawat Masyarakat, Pembantu Awam dan Pembantu Pembedahan Pergigian. Untuk ini sebanyak RM84.2 juta disediakan.

Tuan Yang di-Pertua, fokus kelima - Mensejahterakan Rakyat.

final • 5:20 PM

[Dewan riuh]

Perdana Menteri dan Menteri Kewangan - Dato’ Sri Mohd. Najib bin Tun Abdul Razak

[Tepuk] Kerajaan juga akan menyediakan RM6 bilion pada tahun 2013 di bawah Inisiatif Pembiayaan Swasta yakni PFI 2 untuk melaksanakan pelbagai projek dan program untuk memastikan kesejahteraan rakyat dan memacu pertumbuhan ekonomi negara.

Antara projek yang telah dikenal pasti termasuk membaik pulih dan menyelenggara sekolah serta klinik kesihatan, projek perumahan, projek tangki air, rancangan tebatan banjir dan penyediaan kemudahan sukan.

Tuan Yang di-Pertua, kerajaan telah memperkenalkan langkah mengurangkan kadar jenayah sebagai salah satu inisiatif di bawah NKRA. Usaha mengurangkan kadar jenayah akan terus dipertingkatkan. Untuk tujuan ini peruntukan sebanyak RM591 juta akan disediakan bagi tahun 2013 untuk melaksanakan langkah-langkah berikut:-

(i) Menambah bilangan perjawatan baru Polis Diraja Malaysia pada tahun 2013 untuk melaksanakan tugas-tugas rondaan dan pencegahan jenayah serta menaik taraf infrastruktur dan menyediakan peralatan moden;

(ii) menubuhkan Unit Rondaan Bermotosikal memantau kawasan perumahan. Untuk ini, kerajaan akan menyediakan 1,000 buah motosikal baru dengan peruntukan sebanyak RM20 juta;

(iii) menambah bilangan ahli Pasukan Sukarelawan Polis seramai 10,000 orang dengan peruntukan RM70 juta bagi membantu polis membanteras jenayah; dan

(iv) menambah pemasangan Sistem Kamera Litar Tertutup atau

(CCTV) sebanyak 496 unit di 25 buah pihak berkuasa tempatan di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Tuan Yang di-Pertua, kerajaan sedar akan tugas dan tanggungjawab berat pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia. Kepada warga PDRM saya mendengar rintihan mereka tentang beberapa anomali yang wujud terutamanya dalam perjawatan untuk para pegawai. Kerajaan mendengar dan mengambil maklum. Kita tidak sesekali mengambil mudah tentang soal ini. Kerajaan telah pun mengarahkan Jabatan

final • 5:20 PM

Perdana Menteri dan Menteri Kewangan - Dato’ Sri Mohd. Najib bin Tun Abdul Razak

Perkhidmatan Awam agar kajian komprehensif dilakukan untuk menambah-baik laluan kerjaya warga PDRM. Kajian dan segala cadangan yang dibuat hendaklah merundingi semua stakeholder dan hendaklah dilaksanakan dalam masa yang terdekat ini.

Kerajaan komited memastikan setiap rakyat yang dituduh di mahkamah mempunyai pembelaan sesuai dengan hak mereka yang dijamin oleh perlembagaan dan telah memberi geran pelancaran sebanyak RM14 juta kepada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan. Kerajaan dengan ini menambah RM20 juta lagi peruntukan untuk tahun 2013.

[Tepuk] Tuan Yang di-Pertua, penglibatan swasta dan komuniti setempat secara menyeluruh bersama kerajaan adalah penting bagi memastikan Malaysia menjadi sebuah negara yang selamat. Sehubungan itu, kerajaan akan melaksanakan inisiatif- inisiatif berikut:-

(i) Menyokong peranan persatuan penduduk bagi tujuan menggalakkan aktiviti rondaan di kawasan kejiranan. Untuk ini, kerajaan bercadang memberi geran berjumlah RM10,000 kepada 4,025 persatuan penduduk yang berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia dengan kos sebanyak RM40 juta;

(ii) mempertingkatkan peranan Rukun Tetangga dalam membantu menjaga keselamatan kawasan perumahan.

Untuk tujuan ini, kerajaan menyasarkan 6,500 penubuhan kawasan Rukun Tetangga menjelang tahun 2013. Kerajaan akan memperuntukkan RM39 juta bagi membiayai aktiviti KRT;

(iii) menyediakan sepasang pakaian seragam untuk 300,000 anggota RELA yang aktif dengan peruntukan sebanyak RM90 juta; dan,

(iv) tolakan sepenuhnya perbelanjaan pemasangan alat kawalan keselamatan bagi syarikat-syarikat dalam tahun yang sama ia dibelanjakan berbanding dengan tolakan semasa lapan tahun di bawah galakan Elaun Modal Dipercepatkan.

Kerajaan juga bersetuju galakan yang menarik ini turut diberi kepada syarikat pemaju perumahan.

Tuan Yang di-Pertua, pastinya kerajaan terus komited untuk membasmi gejala rasuah. Bagi tahun 2013 sebanyak RM276 juta akan diperuntukkan kepada SPRM bagi membanteras rasuah. Untuk ini kerajaan bersetuju menambah sebanyak 150 perjawatan tambahan setiap tahun sehingga mencapai 5,000 anggota. Langkah ini diharap akan dapat menyokong usaha kerajaan memperbaiki kedudukan negara dalam Indeks Persepsi Rasuah.

Tuan Yang di-Pertua, kerajaan telah melancarkan Program Transformasi Luar Bandar (RTP) bagi mengukuhkan pembangunan kawasan luar bandar. Untuk komuniti di bandar pula, sukacita saya mengumumkan Program Transformasi Bandar (UTP) sejumlah RM200 juta disediakan bagi maksud ini bagi memastikan penyelarasan strategik di antara RTP dan UTP, National Strategic Coordination Unit akan diwujudkan di bawah Kementerian Kewangan.

Urban Transformation Program adalah inisiatif kerajaan dalam pembangunan komuniti bandar bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan kerajaan dan swasta yang efisien, cepat dan mudah diakses. UTC dilaksanakan dengan mengubahsuai bangunan sedia ada yang kosong atau mengoptimumkan penggunaan bangunan dengan kos yang minimum. Sebagai contoh, di UTC rakyat boleh membuat pasport antarabangsa dalam tempoh satu jam sahaja. Membayar zakat, bil utiliti, cukai pintu, membeli kain dan buku serta menjalankan aktiviti riadah seperi futsal dan gim.

Keunikan UTC ini ia beroperasi bermula dari 8.30 pagi hingga 10 malam, tujuh hari seminggu.

Di bawah UTP, kerajaan telah melancarkan dua Pusat Transformasi Bandar

(UTC) iaitu di Melaka dan Kuala Lumpur. Terkini UTC Kuala Lumpur telah menerima purata seramai 4,000 orang sehari. Pelaksanaan UTC akan diperhebatkan dan dilaksanakan secara berperingkat di enam bandar utama iaitu Alor Setar, Kuantan, Ipoh, Johor Bahru, Kota Kinabalu dan Kuching. Di luar bandar, kerajaan telah membuka pula Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) di Gopeng Perak dan Wakaf Che Yeh Kelantan bagi menyediakan sebuah pusat integrasi perkhidmatan meliputi pengumpulan, pemprosesan, dan pengedaran hasil pengeluaran pertanian, perbankan

final • 5:20 PM

Perdana Menteri dan Menteri Kewangan - Dato’ Sri Mohd. Najib bin Tun Abdul Razak

dan insurans, khidmat nasihat perniagaan, latihan dan kemahiran, klinik serta ruang niaga.

Berdasarkan manfaat yang diterima, kerajaan akan memperluaskan RTC ke Melaka, Johor, Pahang, Sabah dan Sarawak. Selain itu, kerajaan juga akan menaik taraf Medan Info Desa seluruh negara sebagai Mini-RTC.

final • 5:20 PM

Perdana Menteri dan Menteri Kewangan - Dato’ Sri Mohd. Najib bin Tun Abdul Razak

Kawasan luar bandar akan terus dibangunkan bagi mengurangkan jurang pembangunan bandar dan luar bandar. RM4.5 bilion akan disediakan bagi melaksanakan pelbagai projek pembangunan pada tahun 2013 termasuk:-

(i) RM1.2 bilion disediakan untuk melaksanakan 441 kilometer projek jalan luar bandar dan jalan perhubungan desa yang akan memanfaatkan 220,000 orang penduduk;

(ii) RM1.6 bilion diperuntukkan untuk projek infrastruktur utiliti luar bandar bagi projek bekalan air kepada 24,000 buah rumah dan projek penyambungan bekalan elektrik kepada 19,000 buah rumah;

(iii) RM137 juta diperuntukkan bagi membiayai Program Desa Lestari melibatkan 29 buah kampung di seluruh negara dan memanfaatkan 38,000 orang penduduk;

(iv) RM88 juta diperuntukkan bagi melaksanakan program pembangunan ekonomi dan projek bekalan air bagi masyarakat Orang Asli; dan

(v) RM100 juta bagi membekal 40,000 tangki air menggunakan kaedah tadahan air hujan khususnya di kawasan pedalaman di Sabah dan Sarawak.

Tuan Yang di-Pertua, kerajaan akan terus memastikan rakyat dapat menikmati perkhidmatan kesihatan yang memuaskan. Bagi tahun 2013, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM19.3 bilion untuk perkhidmatan mengurus dan pembangunan. Pembukaan Klinik 1Malaysia telah mendapat sambutan baik dan memberi manfaat dalam meringankan kos rawatan selain memudahkan akses bagi mendapatkan rawatan. Justeru, kerajaan akan memperuntukkan sebanyak RM20 juta bagi membuka tambahan 70 buah klinik pada tahun 2013. Klinik 1Malaysia juga akan mula menyediakan perkhidmatan ujian kolesterol dan glukosa serta ujian urin kepada mereka yang memerlukan.

Selain itu, sebanyak RM100 juta diperuntukkan untuk membaik pulih 350 buah klinik di seluruh negara di samping menambah 150 buah mesin dialisis di pusat hemodialisis kerajaan di seluruh negara.

Tuan Yang di-Pertua, untuk meringankan beban pekerja-pekerja yang mengidap penyakit terminal, kerajaan telah bersetuju supaya pekerja-pekerja yang mencarum boleh mengeluarkan simpanan mereka sepenuhnya dengan KWSP tertakluk kepada syarat-syarat yang ditentukan.

Tuan Yang di-Pertua, memang benar wanita bukan sahaja penting dalam pembentukan keluarga bahagia malah turut menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara. Untuk itu, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM50 juta bagi menyokong dwi peranan wanita dengan melaksanakan langkah-langkah berikut:

(i) seramai 500 orang wanita akan dilatih di bawah Program Pengarah Wanita untuk diketengahkan sebagai ahli lembaga pengarah syarikat;

(ii) Program Inkubator Keusahawanan Ibu Tunggal (I-KIT) akan dipertingkatkan untuk memberi khidmat nasihat dan latihan kepada ibu tunggal dalam bidang keusahawanan;

(iii) Program Get Malaysian Business Online (GMBO) bagi membantu 50,000 orang usahawan kecil terutamanya wanita melonjakkan perniagaan dengan meningkatkan jualan secara atas talian dengan geran sebanyak RM1,000 melalui peruntukan sebanyak RM50 juta oleh SKMM; dan

(iv) peruntukkan sebanyak RM25 juta untuk kemudahan pemeriksaan percuma ujian mamogram. Langkah ini

final • 5:30 PM

Perdana Menteri dan Menteri Kewangan - Dato’ Sri Mohd. Najib bin Tun Abdul Razak

dijangka akan memanfaatkan seramai 100,000 orang wanita berumur 40 tahun ke atas.

Tuan Yang di-Pertua, sesungguhnya kerajaan amat menitikberatkan golongan yang kurang bernasib baik dan berpendapatan rendah dalam memastikan mereka tidak ketinggalan dalam arus pembangunan negara. Justeru Program Kebajikan Rakyat 1Malaysia (KAR1SMA) di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan diperuntukkan sebanyak RM1.2 bilion meliputi program bantuan warga emas, bantuan kanak-kanak, elaun pekerja kurang upaya serta bantuan penyakit kronik. Kerajaan telah melancarkan Program 1AZAM (akhiri zaman miskin) yang bertujuan menyediakan peluang menjana pendapatan kepada golongan berpendapatan rendah. Untuk ini kerajaan memperuntukkan sebanyak RM400 juta yang dijangka dapat memanfaatkan seramai 58,330 orang peserta.

Selain itu, kerajaan telah menyediakan dua buah pusat Anjung Singgah bertujuan untuk menempatkan warga emas, kanak-kanak jalanan dan mereka yang memerlukan tempat tinggal sementara sebelum mereka mendapat pekerjaan atau kemudahan tempat tinggal yang tetap. Seterusnya kerajaan menambah lagi enam pusat Anjung Singgah. Kerajaan juga akan mewujudkan lima Anjung Kasih di Hospital Sibu, Miri, Temerloh, Seremban dan Ipoh bagi menyediakan tempat penginapan sementara dan selesa kepada pesakit miskin atau ahli keluarga yang mengiringi pesakit yang sedang menerima rawatan di hospital kerajaan.

Tuan Yang di-Pertua, sukan adalah pemangkin perpaduan nasional yang terbaik kerana melibatkan semua golongan masyarakat. Nama-nama seperti Lee Chong Wei, Nicol Ann David, Pandelela Rinong, Azizulhasni dan Muhamad Ziyad adalah antara wira dan wirawati sukan yang dikagumi. Kejayaan dan pencapaian mereka di peringkat antarabangsa cukup membanggakan. Kerajaan sentiasa memberi penekanan dalam memastikan pembangunan sukan dilaksanakan secara berterusan.

Untuk itu, bagi tahun 2013, sebanyak RM738 juta diperuntukkan bagi pembangunan belia dan sukan. Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM15 juta bagi mempersiapkan para atlet ke kejohanan antarabangsa sukan seperti Sukan SEA 2013, Sukan Para ASEAN 2013, Sukan Komanwel serta Sukan Asia 2014.

Sebagai tambahan, RM50 juta pada peringkat awal diperuntukkan untuk tempoh empat tahun khusus bagi persiapan Sukan Olimpik Rio di bawah program Road to Rio. Bagi menggalakkan perkembangan sukan lumba basikal dan badminton, kerajaan akan membina sebuah velodrom room tertutup di Seremban dan akademi badminton di Bukit Kiara yang diperuntukkan sebanyak RM80 juta.

Tuan Yang di-Pertua, dalam usaha melahirkan generasi belia yang mempunyai personaliti tinggi, berintegriti, kreatif dan berinovasi serta berdaya saing, kerajaan melancarkan program Y-Creative yang melibatkan persatuan belia di seluruh negara. Kerajaan juga akan menganjurkan Festival Belia Putrajaya yang merupakan perhimpunan belia terbesar negara bersempena dengan pengisytiharan tahun 2013 sebagai kesukarelaan nasional.

Bagi membantu usahawan muda dalam bidang ICT, sebuah yayasan dengan nama New Enterpreneur Foundation akan ditubuhkan dengan peruntukan permulaan sebanyak RM50 juta. NEF akan menjadi platform bagi program latihan dan bimbingan.

Selain itu, Young Entrepreneur Fund akan diwujudkan dengan peruntukan sebanyak RM50 juta akan disediakan oleh SME Bank. Dana pinjaman mudah ini adalah untuk belia berumur 30 tahun ke bawah dengan subsidi kadar faedah pinjaman sebanyak 2% dan had maksimum pinjaman sebanyak RM100,00 serta tempoh bayaran balik selama tujuh tahun.

Kerajaan mengiktiraf peranan belia dalam mengaspirasikan pembangunan negara. Untuk itu, kerajaan akan melancarkan pertandingan Lautan Biru 1Malaysia For Youth (1M4U) untuk mereka mempersembahkan idea-idea kreatif dan inovatif menerusi pertandingan peringkat tempatan, negeri dan kebangsaan. Tiga idea terbaik akan diberikan peruntukkan daripada dana sukarelawan 1Malaysia.

Tuan Yang di-Pertua, sebahagian besar daripada 22% rakyat Malaysia yang menggunakan telefon pintar untuk melayari internet adalah golongan belia. Oleh itu, bagi membuka akses golongan muda kepada lebuh raya maklumat, satu pakej khas akan diperkenalkan oleh kerajaan melalui kerjasama antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia serta syarikat telekomunikasi. Melalui pakej komunikasi belia, rebat sebanyak RM200 akan diberi secara one-off bagi pembelian satu unit telefon mudah alih pintar 3G melalui pengedar-pengedar rasmi. Ia terbuka kepada belia yang berumur 21 tahun hingga 30 tahun berpendapatan bulanan RM3,000 dan ke bawah.

Sebanyak RM300 juta telah disediakan dan akan memanfaatkan 1.5 juta orang belia.

final • 5:30 PM

Perdana Menteri dan Menteri Kewangan - Dato’ Sri Mohd. Najib bin Tun Abdul Razak

Menjengah peranan karyawan, budayawan dan seniman dalam proses pembangunan negara, kita maklum bahawa kemajuan Malaysia tidak diukur semata- mata pada pendapatan per kapita dan pertumbuhan ekonomi. Ia turut diukur menggunakan pelbagai dimensi. Para karyawan memainkan peranan penting dalam meningkatkan peradaban nasional.

final • 5:30 PM

Perdana Menteri dan Menteri Kewangan - Dato’ Sri Mohd. Najib bin Tun Abdul Razak

Sebagai menghargai peranan mereka, kerajaan bersetuju memperuntukkan sejumlah RM6 juta sebagai bantuan pentadbiran dan kegiatan kepada semua persatuan yang berdaftar.

Tuan Yang di-Pertua, bercakap pula ehwal perkhidmatan pengangkutan awam yang baik, ia adalah nadi kepada pembangunan sesebuah komuniti. Lanjutan daripada kejayaan pengenalan RapidKL dan RapidPenang, kerajaan akan melancarkan RapidKuantan mulai 1 Disember 2012 bagi menyediakan perkhidmatan pengangkutan bas berkualiti di Kuantan yang dapat memanfaatkan rakyat teramai. Syarikat Prasarana juga dalam proses memperluaskan perkhidmatan ini di bandar lain seperti Ipoh, Seremban, Kuching dan Kota Kinabalu.

Kerajaan memandang serius kepentingan pengangkutan bagi orang ramai terutamanya mereka yang tinggal dan bekerja di bandar besar. Pada masa ini golongan OKU, pesara dan pelajar telah menikmati diskaun 50 peratus kadar tambang apabila menggunakan perkhidmatan komuter KTMB. Sebagai lanjutan suka saya mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju untuk memperluaskan diskaun 50 peratus kadar tambang ini kepada semua warganegara Malaysia yang berpendapatan RM3,000 dan ke bawah.

[Tepuk] Tuan Yang di-Pertua, kerajaan sedar perumahan selesa dan mampu milik adalah keperluan asas paling utama kepada rakyat. Kerajaan komited untuk memastikan setiap rakyat Malaysia berpeluang untuk memiliki rumah mereka sendiri.

Ini bukan sahaja satu imperatif yang bersifat ekonomi, malah ia adalah imperatif moral bagi sebuah kerajaan yang bertanggungjawab. Oleh itu kerajaan akan menjadikan hasrat ini sebagai prioriti berterusan. Bagi tahun 2013 sahaja, suka saya umumkan, kerajaan akan memperuntukkan RM1.9 bilion bagi membina 123,000 unit rumah dengan harga berpatutan di kawasan-kawasan strategik. Inisiatif ini akan dilaksanakan oleh PR1MA, Syarikat Perumahan Nasional Berhad dan Jabatan Perumahan Negara.

Sebanyak RM500 juta akan dibelanjakan oleh PR1MA untuk membina 50,000 unit rumah di bandar-bandar utama di seluruh negara dengan harga jualan antara RM100,000 hingga RM400,000 seunit. Antara bandar-bandar utama tersebut adalah Kuala Lumpur, Shah Alam, Johor Bahru, Seremban dan Kuantan. Di samping itu PR1MA juga akan menyediakan Dana Pemudah Cara Perumahan berjumlah RM500 juta untuk membina 30,000 unit rumah secara usaha sama dengan pemaju perumahan swasta. Harga rumah yang ditawarkan di bawah program ini adalah 20 peratus lebih rendah berbanding dengan harga pasaran dan proses pengagihan rumah akan dilaksanakan secara sistem pengundian terbuka.

Manakala sebanyak RM320 juta diperuntukkan melalui SPNB untuk membina sebanyak 22,855 unit kediaman termasuk apartmen kos rendah dan sederhana, rumah mesra rakyat serta rumah mampu milik. Projek perumahan SPNB yang akan dilaksanakan segera termasuk membina sebanyak 1,855 unit apartmen kos sederhana dengan keluasan 850 kaki persegi di Shah Alam dan Sungai Buloh. Unit kediaman ini akan dijual pada harga sekitar RM120,000 hingga RM220,000 seunit.

Bagi program Rumah Mesra Rakyat pula, SPNB akan membina sebanyak 21,000 unit rumah untuk tahun 2013. Di bawah program ini, SPNB akan membina rumah berharga RM65,000 dengan subsidi sebanyak RM20,000 serta subsidi kadar faedah ke atas pinjaman sebanyak dua peratus. Selain itu, peruntukan sebanyak RM543 juta akan disediakan bagi Jabatan Perumahan Negara melaksanakan 45 projek di bawah Program Perumahan Rakyat melibatkan 20,454 unit rumah yang dibina menggunakan kaedah Industrialised Building System. Kesemua unit kediaman ini akan dijual antara RM30,000 hingga RM40,000 seunit berbanding harga pasaran sekitar RM120,000 seunit. 20 peratus daripada keseluruhan unit rumah PPR kepada penjawat awam dan sebahagian kepada golongan OKU.

Bagi membolehkan lebih ramai rakyat Malaysia memiliki rumah yang pertama, Skim Rumah Pertamaku yang telah dilancarkan melalui bajet yang lalu, akan ditambah baik dengan meningkatkan had pendapatan peminjam perseorangan daripada RM3,000 kepada RM5,000 sebulan atau RM10,000 sebulan bagi pinjaman bersama

final • 5:40 PM

Perdana Menteri dan Menteri Kewangan - Dato’ Sri Mohd. Najib bin Tun Abdul Razak

suami isteri. Di samping itu, syarat keperluan simpanan tiga bulan deposit serta tempoh minimum bekerja enam bulan juga akan dimansuhkan.

[Tepuk] Tuan Yang di-Pertua, dalam Bajet 2009, kerajaan telah pun memberi pengecualian duti setem 50 peratus ke atas surat cara perjanjian pindah milik dan pinjaman sesebuah rumah kediaman pertama yang berharga RM350,000. Kerajaan bercadang melanjutkan pengecualian duti setem sedia ada sehingga 31 Disember 2014 dengan had kelayakan harga rumah dinaikkan pada RM400,000.

Menyangkut hal penawaran hartanah yang terhad terutamanya di kawasan bandar, ia membuka ruang kepada aktiviti spekulasi. Dengan itu, kerajaan mencadangkan cukai keuntungan harga tanah ke atas keuntungan pelupusan hartanah yang dibuat dalam tempoh tidak melebihi dua tahun dari tarikh perolehan hartanah berkenaan dikenakan pada kadar 15 peratus dan 10 peratus bagi pelupusan hartanah dalam tempoh dua hingga lima tahun. Bagi hartanah yang dilupuskan selepas lima tahun daripada tarikh perolehannya, RPGT tidak dikenakan. Sementelahan itu, keuntungan daripada pelupusan sebuah rumah kediaman sekali seumur hidup dan pelupusan hartanah atas dasar kasih sayang antara suami dan isteri, ibu bapa dan anak, datuk atau nenek dan cucu dikecualikan daripada RPGT.

Selanjutnya, bagi tahun 2013, kerajaan memperuntukkan RM100 juta kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang dijangka dapat memulihkan 30 projek rumah terbengkalai. Sebagai tambahan untuk menggalakkan penyertaan sektor swasta, kerajaan menyediakan insentif cukai seperti berikut:

(i) Institusi perbankan diberi pengecualian cukai ke atas pendapatan faedah yang diterima daripada kontraktor penyelamat;

(ii) kontraktor penyelamat diberi potongan cukai dua kali ke atas bayaran faedah dan semua kos langsung dalam mendapatkan pinjaman;

(iii) kontraktor penyelamat diberi pengecualian duti setem ke atas semua jenis surat cara yang disempurnakan bagi tujuan pindah milik tanah atau rumah dan surat cara pinjaman bagi membiayai kos pemulihan; dan

(iv) pembeli asal rumah terbengkalai diberi pengecualian duti setem ke atas semua jenis surat cara yang disempurnakan bagi tujuan mendapat pembiayaan tambahan dan pindah milik rumah.

Tuan Yang di-Pertua, sesungguhnya kerajaan ini adalah kerajaan rakyat, dari rakyat untuk rakyat. Kemakmuran negara dan kesejahteraan rakyat adalah objektif tertinggi. Kerajaan tidak akan sekali-kali melakukan sebarang tindakan yang akan membahayakan masa depan orang ramai. Bukan seperti sesetengah pihak yang sanggup mengatakan apa sahaja, ini percuma, itu pun percuma, hutang pun tidak perlu bayar, hatta menjanjikan syurga semata-mata untuk berkuasa.

[Tepuk] Menyedari hakikat ini, kerajaan sedang melaksanakan inisiatif rasionalisasi subsidi dan mengalih secara berperingkat kaedah pemberian subsidi daripada subsidi pukal yang membawa kepada banyak ketirisan dan sehingga orang yang berada pun memperoleh kepada subsidi yang bersasar. Di bawah prinsip ini, subsidi akan diteruskan tetapi akan diberi hanya kepada kelompok yang betul-betul memerlukannya.

[Tepuk] Hakikatnya, jika kerajaan terus memberi subsidi secara pukal, ia akan menghancurkan kedudukan kewangan negara sehingga akhirnya rakyat menanggung akibat seperti mana yang berlaku di sesetengah negara. Sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab, kita tidak rela perkara tersebut berlaku.

Bersesuaian dengan peralihan kepada dasar pelaksanaan subsidi bersasar, kerajaan komited bagi memastikan setiap rakyat Malaysia dapat mengongsi kemakmuran negara.

final • 5:40 PM

Perdana Menteri dan Menteri Kewangan - Dato’ Sri Mohd. Najib bin Tun Abdul Razak

Ini hanya akan berlaku sekiranya ekonomi nasional terus tumbuh serta mampan dan kekayaan negara dapat diurus dengan baik. Sukacita saya umumkan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia [Tepuk] atau nama ringkasnya BR1M 2.0.

final • 5:50 PM

[Dewan riuh]

Perdana Menteri dan Menteri Kewangan - Dato’ Sri Mohd. Najib bin Tun Abdul Razak

Kriteria penerima tetap sama iaitu ketua isi rumah yang berpendapatan RM3,000 dan ke bawah. Sebagai tambahan sukacita juga saya mengumumkan pemberian BR1M 2.0 ini diperluaskan kepada individu bujang. Berumur 21 tahun ke

final • 5:50 PM

Perdana Menteri dan Menteri Kewangan - Dato’ Sri Mohd. Najib bin Tun Abdul Razak

atas yang berpendapatan tidak melebihi RM2,000 sebulan. Pemberian bantuan kepada individu bujang ini adalah sebanyak RM250.

[Tepuk] Hakikatnya, bantuan kepada isi rumah dan individu bujang ini bukanlah satu langkah populis malah manifestasi sebuah kerajaan bertanggungjawab mampu mengurus kewangan negara dengan berhemah. Ia memanfaatkan 4.3 juta isi rumah dan 2.7 juta individu bujang melibatkan peruntukan RM3 bilion. Ia akan dibayar mulai awal tahun 2013.

[Tepuk] Bagi memudahkan pelaksanaan penerima BR1M sedia ada tidak perlu lagi mendaftar untuk kali kedua. Manakala permohonan baru boleh mula mendaftar mulai November 2012 secara talian atau melalui kaunter di pejabat pembangunan negeri, pejabat daerah dan pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri seluruh negara.

Tuan Yang di-Pertua, gula yang diambil secara berpatutan adalah baik.

Namun sekira diambil secara berlebihan ia mampu menjadi racun. Setakat ini 2.6 juta rakyat Malaysia mengidap diabetes. Oleh itu, kerajaan bercadang mengurangkan subsidi gula sebanyak 20 sen sekilogram mulai 29 September 2012. Kerajaan menyeru para peniaga bahawa janganlah membebankan saudara se-Malaysia dengan kenaikan harga sebaliknya kurangkanlah kandungan gula.

Saya ingin menegaskan bahawa kerajaan masih lagi menanggung subsidi gula sebanyak 34 sen satu kilogram yang melibatkan perbelanjaan sebanyak RM278,000,000. Malah pengurangan subsidi ini disokong oleh Persatuan-persatuan Pengguna dan Pengamal Kesihatan. Selanjutnya, untuk menampung perbezaan harga dan kuota penggunaan minyak masak yang semakin meningkat, kerajaan akan menyediakan peruntukan sebanyak RM1.5 bilion bagi menstabilkan harga minyak masak di pasaran.

Tuan Yang di-Pertua, secara umumnya harga barangan keperluan di Sabah dan Sarawak adalah lebih mahal berbanding dengan Semenanjung Malaysia disebabkan kos penghantaran dan pengagihan yang lebih tinggi. Bagi memastikan kos dan harga barangan dapat dikurangkan kerajaan telah memperkenalkan pelbagai inisiatif termasuk Program Penyeragaman Harga Pemberian Subsidi Pengangkutan serta pembukaan Kedai Rakyat 1Malaysia. Untuk ini kerajaan akan memperuntukkan sebanyak RM386,000,000 bagi memastikan harga barangan keperluan di Sabah dan Sarawak serta Labuan dijual pada harga yang lebih rendah dan lebih seragam dengan membuka sebanyak 57 buah Kedai Rakyat 1Malaysia dan menanggung kos penghantaran produk dari Semenanjung Malaysia ke Sabah dan Sarawak serta Labuan termasuk penghantaran ke kawasan pedalaman. Sebagai contoh, di Ba’kalalan, Sarawak, harga gas memasak 14 kilogram setong dijual pada harga RM70. Dengan program penyeragaman harga, gas memasak tersebut boleh dibeli hanya dengan RM26.60 setong.

[Tepuk] Sebagai tambahan, bagi meringankan beban rakyat yang berulang alik menggunakan perkhidmatan feri dari Labuan ke Sabah dan Sarawak, kerajaan akan memberi diskaun tambang kepada semua penumpang sebanyak 50%. Di samping itu, diskaun sebanyak 50% turut diberi ke atas tambang feri untuk kenderaan komersial yang mengangkut barang keperluan asas dan binaan ke Labuan.

Tuan Yang di-Pertua, sekali lagi kita memasuki musim panggilan Haji menuju Baitullah. Dalam Bajet 2012, saya telah mengumumkan pencarum KWSP boleh membuat pendaftaran awal menunaikan rukun ke-5 ini melalui penghadangan Akaun 2 sebanyak RM1,300. Alhamdulillah, setakat ini, seramai 51,528 pencarum telah menggunakan inisiatif ini. Sebagai langkah tambahan untuk membantu bakal-bakal haji, saya ingin mengumumkan bahawa bakal-bakal haji yang mencarum di KWSP kini dibenarkan mengeluarkan simpanan dari Akaun 2 mereka bagi menampung kekurangan kos tambang. Inisiatif ini terhad kepada jemaah muassasah dengan maksimum pengeluaran sehingga RM3,000.

Tuan Yang di-Pertua, kerajaan prihatin ke atas peningkatan kos sara hidup rakyat serta tanggungan cukai pendapatan mereka. Kerajaan telah pun menyediakan sebanyak 20 jenis pelepasan cukai individu dan 2 rebat cukai. Berikutan pelepasan dan rebat cukai ini, hanya 1.7 juta orang sahaja yang perlu membayar cukai berbanding keseluruhan guna tenaga iaitu seramai 12 juta orang.

Dalam proses peralihan daripada sistem cukai sedia ada yang berdasarkan pendapatan kepada sistem cukai yang lebih adil dan saksama, kerajaan mencadangkan kadar cukai pendapatan individu diturunkan 1 mata peratusan [Tepuk] bagi setiap kumpulan pendapatan bercukai tahunan melebihi RM2,500 sehingga RM50,000. Langkah ini akan mengeluarkan seramai 170,000 pembayar cukai daripada

final • 5:50 PM

Perdana Menteri dan Menteri Kewangan - Dato’ Sri Mohd. Najib bin Tun Abdul Razak

membayar cukai serta pembayar cukai pendapatan sedia ada juga menikmati penjimatan bayaran cukai mereka. Sebagai contoh, golongan profesional muda yang belum berkahwin dengan pendapatan bulanan RM5,000, akan menikmati penjimatan cukai pendapatan sehingga RM425.00.

Pada masa yang sama, bagi terus memacu transformasi gerakan koperasi, kerajaan mencadangkan kadar cukai pendapatan koperasi juga dikurangkan antara 1 hingga 7 mata peratusan di semua kumpulan pendapatan bercukai. Dengan ini, seramai 7,000,000 ahli koperasi akan menikmati manfaat sebagai galakan untuk meningkatkan keupayaan keusahawanan dalam bidang perniagaan.

Tuan Yang di-Pertua, kerajaan mengambil berat akan keselamatan anak-anak yang menaiki bas ke sekolah dan pemandu-pemandu bas berikutan kualiti segelintir bas sekolah yang kurang memuaskan. Keadaan ini disebabkan pengusaha bas sekolah tidak dapat menampung beban kos penyelenggaraan yang semakin meningkat sedangkan sebahagian besar bas yang dimiliki telah melebihi jangka hayat ekonomi.

Untuk itu, kerajaan mencadangkan pengusaha bas sekolah diberi pertamanya pemberian rebat tunai RM10,000 dan subsidi kadar faedah 2% ke atas pinjaman penuh untuk menggantikan bas sekolah lama berusia melebihi 25 tahun kepada bas baru yang berkapasiti 12 hingga 18 tempat duduk. Skim pinjaman ini diuruskan oleh BSN, ditawarkan untuk tempoh permohonan dua tahun bermula 1 Januari 2013.

Keduanya, penyediaan Skim Perlindungan Insurans Kemalangan Diri, hilang upaya kekal dan kematian kepada semua murid sekolah yang akan menggunakan perkhidmatan bas sekolah berpermit. Usaha ini akan memanfaatkan seramai 2 juta pelajar dengan perlindungan maksimum sebanyak RM100,000 dan kos premium sebanyak RM40,000,000 untuk tempoh dua tahun yang akan diselia oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat.

final • 5:50 PM

Perdana Menteri dan Menteri Kewangan - Dato’ Sri Mohd. Najib bin Tun Abdul Razak

Tuan Yang di-Pertua, kerajaan amat prihatin terhadap kebajikan pelajar terutama mereka yang datang daripada keluarga berpendapatan rendah. Kerajaan sentiasa menyediakan peruntukan khusus kepada pelajar sekolah rendah dan menengah yang merangkumi bantuan geran per kapita, bantuan makanan asrama, Rancangan Makanan Tambahan, pembelian buku teks dan bantuan bayaran tambahan persekolahan. Untuk ini, sebanyak RM2.6 bilion diperuntukkan pada tahun 2013.

Pada pembentangan Bajet 2012, saya telah mengumumkan bantuan persekolahan RM100 kepada semua pelajar sekolah rendah dan menengah. Bagi meringankan beban persekolahan keluarga berpendapatan rendah dan sederhana kerajaan sekali lagi meneruskan [Tepuk] pemberian bantuan persekolahan RM100 kepada pelajar sekolah rendah dan menengah. Bantuan ini akan dibayar mulai Januari 2013 [Tepuk] dan memanfaatkan seramai 5.4 juta pelajar melibatkan peruntukan sebanyak RM540 juta.

Kerajaan akan meneruskan program Baucar Buku 1Malaysia kepada setiap pelajar IPT dan pra-universiti dan ini diumumkan selepas pemilihan di universiti.

[Ketawa] Jadi tidak ada siapa boleh tuduh. Tahniah, mereka pilih pelajar-pelajar Pro Aspirasi.

[Tepuk] Suka saya umumkan bahawa nilai baucar akan ditingkatkan daripada RM200 kepada RM250.

[Tepuk] Langkah ini melibatkan peruntukan RM325 juta dan akan memanfaatkan seramai 1.3 juta pelajar di seluruh negara.

Tuan Yang di-Pertua, kerajaan juga amat prihatin akan bebanan kos pendidikan tinggi anak-anak. Bagi membantu meringankan tanggungan kewangan ibu bapa, kerajaan mencadangkan pelepasan cukai sedia ada bagi pendidikan tinggi anak- anak sebanyak RM4,000 seorang sekarang ini dinaikkan kepada RM6,000 mulai tahun taksiran 2013.

[Tepuk] Langkah ini menunjukkan komitmen dan tumpuan kerajaan ke atas pelaburan bagi meningkatkan tahap pendidikan generasi muda yang akan memberi manfaat kepada negara pada masa hadapan.

Bagi menggalakkan sikap menabung untuk pendidikan, sukacita saya umumkan di sini bahawa pelepasan cukai yang telah pun diberi sehingga RM3,000 bagi Skim Simpanan Pendidikan Nasional dinaikkan kepada RM6,000.

Tuan Yang di-Pertua, menurut hukum, hutang wajib dibayar.

final • 6:00 PM

[Dewan riuh]

Perdana Menteri dan Menteri Kewangan - Dato’ Sri Mohd. Najib bin Tun Abdul Razak

Pinjaman PTPTN satu amanah. Ia adalah satu keistimewaan, bukan satu hak. Jika hutang PTPTN tidak dibayar, ia menafikan hak-hak pelajar masa hadapan. Oleh itu, bagi memudahkan proses pembayaran balik, kerajaan akan memperkenalkan beberapa insentif. Pertama, bagi peminjam yang menyelesaikan hutang sekali gus dalam tempoh setahun selepas pengumuman ini bermula 1 Oktober 2012 hingga 30

final • 6:00 PM

Perdana Menteri dan Menteri Kewangan - Dato’ Sri Mohd. Najib bin Tun Abdul Razak

September 2013, diskaun 20% akan diberikan [Tepuk] ke atas jumlah pinjaman mereka.

Manakala, bagi mereka yang membayar pinjaman secara konsisten mengikut jadual mulai 1 Oktober 2012, diskaun 10% setahun akan diberikan. Kita tahu Tuan Yang di-Pertua, ada pihak yang mencadangkan supaya hutang keseluruhan PTPTN dimansuhkan.

[Tepuk]

final • 6:00 PM

[Dewan riuh]

Perdana Menteri dan Menteri Kewangan - Dato’ Sri Mohd. Najib bin Tun Abdul Razak

Ini tidak munasabah kerana jika dimansuhkan, siapa akan menanggung lebih RM30 bilion hutang PTPTN pada masa ini? Bukankah yang akan terbeban adalah rakyat Malaysia?

Tuan Yang di-Pertua, kerajaan akan menubuhkan 100 Pusat Internet 1Malaysia bagi tahun 2013 hingga 2015, di dalam bandar seperti di kawasan perumahan rakyat. Pusat ini dilengkapi dengan kemudahan komputer dan perkhidmatan jalur lebar bagi kegunaan harian dan meningkatkan kegiatan sosioekonomi mereka. Untuk itu, SKMM akan menyediakan peruntukan sebanyak RM150 juta.

Tuan Yang di-Pertua, kerajaan berharap pihak swasta, badan korporat serta syarikat berkaitan kerajaan dapat memainkan peranan yang lebih besar dalam pembangunan dan kesejahteraan rakyat melalui Tanggung Jawab Sosial Korporat ataupun ‘Corporate Social Responsibility’. Bagi menyokong usaha kerajaan untuk merancakkan aktiviti CSR, program yang akan dilaksanakan oleh GLC dan agensi termasuk:-

(i) FELDA akan melaksana dan menyiapkan projek perumahan generasi baru sebanyak 20,000 unit untuk tempoh lima tahun di atas 5,000 ekar tanah di dalam kawasan FELDA.

Projek ini akan menelan belanja sebanyak RM1.5 bilion dalam tempoh tersebut. Di samping itu, FELDA telah memperuntukkan RM60 juta bagi membaiki rumah-rumah kampung tradisi di sekitar rancangan. FELDA juga akan membelanjakan sebanyak RM100 juta setahun untuk program pendidikan dan latihan kemahiran serta biasiswa kepada 5,000 anak generasi baru termasuk 2,000 orang daripada jumlah ini adalah terdiri daripada anak-anak dari luar kawasan FELDA;

(ii) Yayasan 1MDB akan menyediakan RM300 juta bagi pemberian geran pendidikan, bantuan kewangan, pembinaan rumah arau untuk pelajar pra sekolah di pendalaman Sarawak, Klinik Bergerak 1Malaysia dan program membaiki rumah bagi golongan miskin dan daif;

(iii) syarikat GLIC dan GLC akan memperuntukkan hampir RM500 juta untuk menjalankan CSR dalam bidang pembangunan komuniti, biasiswa, pendidikan sukan dan persekitaran.

Tuan Yang di-Pertua, sebaik mana pun dasar yang telah digubal pihak kerajaan, tidak akan bermakna tanpa pelaksanaan yang cekap serta berkesan.

Kerajaan mengucapkan terima kasih kepada semua penjawat awam negara [Tepuk] yang merupakan jentera pelaksanaan dasar negara sama ada di peringkat daerah, pihak berkuasa tempatan, negeri mahu pun pusat.

Kerajaan juga mengambil peluang ini mengiktiraf peranan yang dimainkan oleh pegawai-pegawai Kementerian Kewangan sebagai pelaksana dasar fiskal negara, Bank Negara Malaysia bertanggungjawab atas dasar monetari negara dan Suruhanjaya Sekuriti mengawal keutuhan pasaran modal kebangsaan.

Makanya, sebagai kerajaan yang mengenang budi,

final • 6:00 PM

[Dewan riuh]

Perdana Menteri dan Menteri Kewangan - Dato’ Sri Mohd. Najib bin Tun Abdul Razak

suka saya umumkan pemberian bonus sebanyak satu setengah bulan gaji.

final • 6:00 PM

[Dewan riuh]

Perdana Menteri dan Menteri Kewangan - Dato’ Sri Mohd. Najib bin Tun Abdul Razak

[Tepuk] Seperti kita tahu, dari jumlah ini setengah bulan telah pun diberikan menjelang perayaan Aidilfitri yang lepas. Sejumlah setengah bulan gaji lagi akan diberikan pada bulan Disember kelak manakala setengah bulan lagi akan diberikan pada bulan Januari hadapan.

[Tepuk]

final • 6:00 PM

[Dewan riuh]

Perdana Menteri dan Menteri Kewangan - Dato’ Sri Mohd. Najib bin Tun Abdul Razak

Diharap pemberian bonus ini mengurangkan beban para penjawat awam terutamanya yang berkeluarga sempena musim awal persekolahan.

Sukacita saya mengumumkan bahawa para pesara kerajaan juga akan dapat pemberian sebanyak RM500.

[Tepuk] Tuan Yang di-Pertua, bajet yang baru saya bentangkan untuk tahun 2013 ini adalah bajet terakhir sebelum pilihan raya umum ke-13.

[Tepuk] Ia merupakan antara

final • 6:00 PM

Perdana Menteri dan Menteri Kewangan - Dato’ Sri Mohd. Najib bin Tun Abdul Razak

siri-siri bajet yang telah mendorong negara tercinta ke arah pencapaian wawasan nasional. Dengan izin Allah SWT jua dan dengan sokongan serta dukungan rakyat Malaysia, insya-Allah kita akan menyaksikan enam lagi bajet yang akan dibentangkan oleh kerajaan Barisan Nasional [Tepuk] sebelum Malaysia berubah status daripada sebuah negara membangun berpendapatan sederhana tinggi menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi.

final • 6:00 PM

Perdana Menteri dan Menteri Kewangan - Dato’ Sri Mohd. Najib bin Tun Abdul Razak

Sebagai parti yang dimandatkan, kami menyeru agar rakyat menilai secara kritikal dan rasional akan titipan rekod kejayaan yang dimiliki oleh Barisan Nasional.

Kerajaan Barisan Nasional dan sebelum itu Perikatan telah selama 55 tahun mencipta kehidupan yang lebih baik untuk rakyat Malaysia.

Tuan Yang di-Pertua, kita tahu ada pihak yang menyeru supaya mereka diberi peluang untuk membentuk kerajaan [Disampuk] . Secara berlapang dada dalam sebuah negara demokratik kita faham tidak salah menawarkan diri kerana mereka juga ada hak. Namun pada akhirnya rakyatlah yang akan menentukan

final • 6:10 PM

[Dewan riuh]

Perdana Menteri dan Menteri Kewangan - Dato’ Sri Mohd. Najib bin Tun Abdul Razak

siapa mendapat mandat melalui peti undi. Kini masanya hampir tiba, apabila rakyat Malaysia akan membuat pilihan bagi menentukan masa depan mereka dan anak-anak mereka.

Persoalan yang perlu ditanya semasa membuat keputusan ialah sama ada kehidupan mereka hari ini lebih baik berbanding semalam dan adakah hari esok menjanjikan harapan yang sarat dengan peluang serta potensi. Jika jawapannya ya...

final • 6:10 PM

Beberapa Ahli

Ya!

final • 6:10 PM

Dato' Sri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak

...Maka tanpa ragu-ragu berilah mandat pada kerajaan yang ada untuk meneruskan dan menambah baik apa yang ada.

[Tepuk]

final • 6:10 PM

[Dewan riuh]

Dato' Sri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak

Tuan Yang di-Pertua, pujangga bermadah, ‘bumi mana tidak ditimpa hujan, gading mana yang tidak retak’. Kita akur kerajaan Barisan Nasional tidak bebas dari kekhilafan tetapi yang membezakan kami dan mereka ialah mereka tidak mempunyai ketawadu’an untuk mengakui kesilapan

final • 6:10 PM

[Dewan riuh]

Dato' Sri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak

, sebaliknya mencipta alasan demi alasan

final • 6:10 PM

[Dewan riuh]

Dato' Sri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak

dengan penuh gempita menyalahkan orang lain.

Tuan Yang di-Pertua, pucuk pangkalnya pihak yang menawarkan alternatif ini juga perlu dinilai catatan rekod mereka kerana mereka bukannya tidak dikenali rakyat Malaysia. Malah ada di kalangan mereka pernah diamanahkan sebagai kepimpinan tertinggi yang mengurus khazanah negara. Tidak cukup dengan itu, hari ini beberapa negeri mereka juga mengepalai kerajaan. Kalau hari ini mereka menjanji itu dan ini, rakyat Malaysia harus bertanya apabila pemimpin berkenaan ketika masih berjawatan dulu kenapa tidak melaksanakan apa yang dikokokkan

final • 6:10 PM

[Dewan riuh]

Dato' Sri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak

[Tepuk] . Hakikatnya jika ketika berpeluang tidak melaksanakan segala yang dijanji apatah pula jaminan mereka yang melunaskan jika diberi kuasa sekarang.

final • 6:10 PM

[Dewan riuh]

Dato' Sri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak

Tuan Yang di-Pertua, bukankah apabila berhadapan dengan krisis kewangan Asia hampir ranap negara dibuatnya?

final • 6:10 PM

[Dewan riuh]

Dato' Sri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak

[Tepuk] . Jika kini di negeri-negeri yang ditadbir mereka apa yang terkandung dalam manifesto sendiri

final • 6:10 PM

[Dewan riuh]

Dato' Sri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak

pun masih tinggal janji. Mana mungkin mereka boleh dipercayai dengan amanah dan kuasa.

Ini berbeza dengan kerajaan Barisan Nasional. Apabila berjanji ditepati [Disampuk] , bahkan sebelum berjanji pun lagi kita bersikap bertanggungjawab dengan menentukan sama ada janji itu boleh ditunaikan ataupun tidak. Bukannya mengambil sikap asal menang segala-galanya sanggup dipertaruhkan. Sebaliknya bila menang janji hilang entah ke mana.

[Tepuk] Tuan Yang di-Pertua, seorang ahli falsafah Yunani sebut dengan izin, “the measure of a man is what he does with power”. Justeru hari ini kita dapati untuk berkuasa ada sesetengah pihak sanggup mengadu domba antara agama dan bangsa.

Sanggup menggadai segala-gala harta, prinsip sekalipun

final • 6:10 PM

[Dewan riuh]

Dato' Sri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak

demi kerakusan kuasa. Kerajaan Barisan Nasional dibimbing prinsip “fastabiqul khairat” seperti mana terkandung di dalam ayat al-Quran yang saya baca pada awal ucapan saya tadi, berlumba-lumba melakukan kebaikan.

Kalau kita lihat lagi hakikatnya kerajaan Barisan Nasional adalah perintis kepada perpaduan kaum yang menjadi teras kestabilan nasional, tetapi pihak lain yang ingin menjadi kerajaan merintis kekuatan melalui konflik dan kebencian. Kerajaan difitnah dan dituduh semahunya. Maka saya menyeru rakyat Malaysia supaya menghakimi kerajaan Barisan Nasional dengan amalan perbuatan bukannya retorik.

Marilah bersama-sama saya dan rakan-rakan kita

final • 6:10 PM

[Dewan riuh]

Dato' Sri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak

[Tepuk] melepas

final • 6:10 PM

Dato' Sri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak

bebaskan segala potensi yang ada bagi membina sebuah negara yang boleh kita banggakan*.

[Tepuk]* Sebuah negara yang mana yang susah dibantu, yang lemah dilindungi, yang berada membantu, yang kuat melindungi, yang muda dikasihi, yang tua dihargai, yang memerlukan dikhidmati dan yang berbakat digilap. Sesungguhnya kita mahukan Malaysia yang tersanjung di persada antarabangsa. Malaysia yang makmur dan aman, Malaysia yang menjadi cahaya dan oasis di tengah-tengah ketidaktentuan global.

Mudah-mudahan dengan izin-Nya dan sokongan padu rakyat, kita bakal membina sebuah realiti dari impian [Tepuk] . Kepada Allah kita berserah [Tepuk] . Tuan Yang di- Pertua, saya mohon mencadangkan [Tepuk]

final • 6:10 PM

[Dewan riuh]

Dato' Sri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak

.

final • 6:10 PM

Tuan Yang di-Pertua

Terima kasih, terima kasih. Ahli-ahli Yang Berhormat sila bertenang.

final • 6:10 PM

[Dewan riuh]

Tuan Yang di-Pertua

Terima kasih Ahli-ahli Yang Berhormat

final • 6:10 PM

[Dewan riuh]

Tuan Yang di-Pertua

.

final • 6:10 PM

Beberapa Ahli

Bubar! Bubar!

final • 6:10 PM

Tuan Yang di-Pertua

Ahli-ahli Yang Berhormat, bertenang Ahli-ahli Yang Berhormat. Kita banyak masa lagi untuk berdebat. Bertenang. Ada sesiapa ahli yang menyokong?

final • 6:10 PM

Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pelajaran - Tan Sri Dato' Haji Muhyiddin bin Haji Mohd Yassin

Tuan Yang di-Pertua, saya menyokong penuh cadangan yang telah pun dikemukakan [Tepuk]

final • 6:10 PM

[Dewan riuh]

Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pelajaran - Tan Sri Dato' Haji Muhyiddin bin Haji Mohd Yassin

oleh Yang Amat Berhormat Menteri Kewangan.

final • 6:10 PM

Tuan Yang di-Pertua

Yang Amat Berhormat Menteri Kewangan sila.

final • 6:10 PM
USUL
ANGGARAN PEMBANGUNAN 2013 Dato' Sri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak: Saya mohon

mencadangkan usul di atas nama saya di dalam Aturan Urusan Mesyuarat hari ini yang berbunyi, “Bahawa Dewan ini mengikut subseksyen 4(3) Akta Kumpulan Wang Pembangunan 1966, membuat ketetapan iaitu suatu jumlah wang sebanyak tidak lebih dari RM49,749,999,000 dibelanjakan daripada Kumpulan Wang Pembangunan bagi tahun 2013 dan bagi tujuan butiran perbelanjaan pembangunan yang dinyatakan di bawah Maksud Pembangunan atau “P” dalam senarai Anggaran Perbelanjaan Persekutuan 2013 yang dibentangkan sebagai Kertas Perintah 9 Tahun 2012, adalah diuntukkan di bawah maksud-maksud yang berkenaan jumlah-jumlah yang bersetentangan dengan butiran-butiran itu di ruangan tujuh dan lapan senarai tersebut hendaklah disahkan.”

final • 6:10 PM

Tuan Yang di-Pertua

Ada yang menyokong? Sila.

final • 6:10 PM

Tan Sri Dato' Haji Muhyiddin bin Haji Mohd Yassin

Saya mohon menyokong.

final • 6:10 PM

Tuan Yang di-Pertua

Ahli-ahli Yang Berhormat mengikut peraturan peruntukan 66(3) perbahasan yang di atas usul-usul bagi bacaan kali yang kedua atas Rang Undang-undang Perbekalan 2013 dan Usul Anggaran Perbelanjaan Pembangunan 2013, hendaklah ditangguhkan kepada suatu tarikh tidak kurang daripada dua hari sebelum usul-usul tersebut dicadangkan dan disokong. Dengan demikian Mesyuarat Dewan hari ini ditangguhkan sehingga jam 10.00 pagi, hari Isnin 1 Oktober 2012. Terima kasih.

final • 6:10 PM

[Dewan ditangguhkan pada pukul 6.21 petang]

Hak Cipta Terpelihara © 2026