Katalog Hansard
[Timbalan Yang di-Pertua (Datuk Ronald Kiandee) mempengerusikan Mesyuarat]
1. Datuk Wira Ahmad Hamzah [Jasin] minta Menteri Kewangan menyatakan, peluang yang bakal diambil oleh kementerian dalam mengeksploitasi kekukuhan nilai mata wang ringgit hari ini berbanding mata wang utama dunia bagi menyokong aliran masuk modal yang lebih besar serta pengukuhan asas makro-ekonomi negara.
Perdana Menteri dan Menteri Kewangan - Dato’ Sri Mohd. Najib bin Tun Abdul Razak
Tuan Yang di-Pertua, untuk makluman Ahli Yang Berhormat pengukuhan nilai ringgit sejak kebelakangan ini bukan sahaja merupakan tindak balas atau kesan daripada pengukuhan asas ekonomi negara semata-mata tetapi sebahagiannya ialah kesan daripada situasi semasa global.
Pengukuhan nilai ringgit secara amnya memberi kelebihan dan implikasi positif terhadap dagangan import terutamanya dalam menangani kenaikan harga barang makanan global. Kesan peningkatan harga barang makanan import akan meningkatkan kadar inflasi serta menjejaskan pertumbuhan ekonomi.
Justeru, pengukuhan nilai ringgit mampu mengurangkan kenaikan harga barang makanan dan seterusnya membantu mengekang kenaikan kadar inflasi negara.
Pengukuhan nilai ringgit juga memberi peluang kepada sektor perniagaan untuk menstrukturkan dan menaik taraf industri bagi meningkatkan kapasiti, rantaian nilai, kecekapan operasi serta mengukuhkan daya saing mereka.
Di samping itu industri dapat menikmati kos import barangan pengantara dan barangan modal dengan harga yang lebih rendah. Penurunan kos import bagi input pengeluaran dan peralatan berteknologi tinggi akan memudahkan transformasi perniagaan daripada pengeluaran berasaskan tenaga buruh kepada pengeluaran berasakan teknologi tinggi.
Ini akan meningkatkan produktiviti serta keuntungan syarikat tempatan seterusnya meningkatkan keupayaan syarikat Malaysia untuk bersaing dalam pasaran antarabangsa.
Di samping itu, pengukuhan nilai ringgit juga mampu meningkatkan pelaburan langsung melalui peningkatan pelaburan dalam bidang-bidang berimpak tinggi seperti minyak dan gas, minyak sawit dan infrastruktur yang memerlukan jentera dan peralatan import.
Justeru, pengukuhan nilai ringgit dapat mengurangkan kos bahan-bahan import dan mempercepatkan pelaksanaan projek dan pelaburan terutamanya projek di bawah program transformasi ekonomi. Pengukuhan nilai ringgit serta pertumbuhan ekonomi Malaysia yang memberangsangkan juga telah meningkatkan keyakinan pelabur asing dan menarik aliran masuk modal ke dalam negara.
Mengikut perangkaan imbangan pembayaran negara, Malaysia telah kembali mencatatkan aliran masuk bersih pelaburan langsung FDI yang besar sebanyak RM27.6 bilion pada tahun 2010 berbanding dengan hanya RM5 bilion pada tahun sebelumnya.
Aliran masuk bersih pelaburan portfolio pula telah meningkat kepada RM44.9 bilion pada tahun 2010 berbanding aliran keluar bersih sebanyak RM1.7 bilion pada tahun 2009. Ini membuktikan keyakinan pelabur asing untuk melabur di Malaysia dari segi pegangan sekuriti dan ekuiti.
Datuk Wira Ahmad Hamzah - Jasin
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Terima kasih dan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri di atas penjelasan.
Pengukuhan nilai ringgit Malaysia mencerminkan keyakinan pasaran terhadap prestasi ekonomi negara, kestabilan politik dan juga dasar kerajaan yang pro business. Yang paling pasti sekali adalah keyakinan terhadap kepimpinan negara.
Dalam pada itu, senario yang berbeza terdapat di negeri China dan juga negara Jepun. Pengukuhan nilai mata wang masing-masing menyebabkan kelemahan prestasi perdagangan mereka. Justeru, apakah tindakan yang akan dibuat oleh pihak kerajaan bagi memastikan supaya kita dapat mengelak daripada impak negatif ini?
Keduanya, pengukuhan nilai ringgit Malaysia membantu untuk kita mengawal imported inflation dan sekali gus memberikan keuntungan kepada pengimport dan juga pengguna. Dalam masa yang sama, senario yang berbeza pula kepada pengeksport yang menghadapi tekanan kerana barangan-barangan daripada Malaysia akan lebih mahal.
Dalam masa yang sama mereka juga menghadapi permintaan yang lemah. Jadi, soalan saya apakah langkah yang akan dilaksanakan oleh kerajaan bagi mengimbangi kedua-dua senario ini supaya kita dapat memastikan pertumbuhan ekonomi negara kita dalam keadaan yang baik? Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Dato’ Sri Mohd. Najib bin Tun Abdul Razak
Tuan Yang di-Pertua, saya telah menyatakan tadi bahawa pada umumnya adalah lebih banyak kebaikan daripada impak negatif daripada pengukuhan nilai mata wang ringgit kita. Sehubungan dengan ini, kita dapat melihat bahawa terutama sekali dari segi kadar inflasi yang diimport dapat kita lindungi daripada kenaikan melalui kenaikan nilai mata wang kita.
Dato’ Sri Mohd. Najib bin Tun Abdul Razak
Dari segi impak yang negatif ini kita kena menguruskan kadar pertukaran wang asing kita ataupun foreign exchange kita supaya pengurusan kita itu adalah mencerminkan fundamental dan tidak ada kenaikan yang begitu mendadak. Bagi pengeksport-pengeksport kita yang menghadapi tekanan, mereka terpaksa bersaing lebih dengan meninggikan lagi produktiviti mereka. Itu satu cara yang boleh mereka bersaing di pasaran antarabangsa di samping menggunakan pengukuhan nilai mata wang ringgit ini untuk mengimport bahan- bahan peralatan dan sebagainya yang boleh memberi keuntungan kepada mereka.
Tuan Azan Ismail - Indera Mahkota
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua dan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri. Soalan tambahan saya ini ada sedikit kena-mengena dengan laporan yang dikeluarkan oleh Bank Negara yang bersangkutan dengan kedudukan atau pengukuhan nilai ringgit kita. Janji atau ikrar yang dibuat oleh Bank Negara untuk menyiasat satu laporan yang menyebabkan kedudukan nilai kita agak terganggu.Oleh sebab ada satu laporan oleh GFI mengatakan bahawa berlakunya pengaliran wang, illicit outflow secara besar-besaran dalam tempoh tujuh, lapan tahun berjumlah RM889 bilion yang dikatakan tetapi Timbalan Menteri menjawab jumlah itu adalah diklasifikasikan sebagai dalam kaedah error and omission yang dikatakan sebenarnya jauh lebih rendah, tidak sampai pun RM200 bilion.
Perbezaan yang begitu besar ini menyebabkan kita dilihat tidak stabil dari segi pengukuhan nilai mata wang kita di pasaran antarabangsa dan mengambil kira apabila berlakunya malapetaka dan bencana di Jepun yang menyebabkan andaian mengatakan dalam jangka masa pendek berlaku kenaikan mendadak ke atas kos barang-barang pembinaan, yang juga dikatakan akan memberi kesan kepada kedudukan ekonomi dalaman kita. Apakah langkah kita untuk menstabilkan kedua-dua imbangan ini? Terima kasih.
Dato’ Sri Mohd. Najib bin Tun Abdul Razak
Tuan Yang di-Pertua, laporan tersebut ada yang tidak tepat, ada yang benar. Jadi perkara ini kita akan jawab secara tuntas pada bulan depan, saya dah minta Bank Negara untuk mengumpulkan segala maklumat supaya jawapan kita ini jawapan yang komprehensif. Namun apa yang tidak dapat dinafikan ialah keyakinan pasaran dunia terhadap pengurusan kewangan dan mikro negara kita semakin nyata dengan pengukuhan nilai mata wang ringgit kita terutama sekali.
Dr. Dzulkefly Ahmad - Kuala Selangor
Soalan tambahan Tuan Yang di-Pertua.
Special, Perdana Menteri datang ini.
Timbalan Yang di-Pertua - Datuk Ronald Kiandee
Cukup Yang Berhormat, soalan kedua ada lagi. Saya jemput Tuan Zulkifli bin Noordin.
2. Tuan Zulkifli bin Noordin [Kulim Bandar Baharu] minta Perdana Menteri menyatakan:
(a) adakah kerajaan bercadang mengolah semula konsep 1Malaysia supaya tidak diputarbelitkan oleh pihak tertentu sehingga memberi persepsi mengelirukan kepada rakyat dengan penafsiran yang berbeza dan pelbagai; dan
(b) adakah kerajaan bercadang membuat branding kepada konsep seperti Malaysia-First dengan slogan, “Negara Didahulukan, Rakyat Diutamakan” di mana setiap rakyat mendahulukan negara dan kerajaan pula mengutamakan rakyat dalam semua dasar dan perancangan.
Perdana Menteri - Dato’ Sri Mohd. Najib bin Tun Abdul Razak
Tuan Yang di- Pertua, sejak pelancaran konsep 1Malaysia, penerimaan rakyat terhadap gagasan ini amat memberangsangkan. Pada peringkat awal ada pihak tertentu yang cuba memanipulasikan konsep ini bagi mewujudkan polemik demi kepentingan politik mereka. Namun begitu dengan penjelasan terperinci di pelbagai peringkat, penerimaan yang amat baik jelas kelihatan di kalangan rakyat. Kerajaan secara berterusan akan menerangkan tentang pengertian dan juga pengisian Gagasan 1Malaysia ini. Malah di Dewan yang mulia ini telah beberapa kali dijelaskan tentang maksud 1Malaysia yang tidak pernah lari dari roh dan semangat Perlembagaan Persekutuan dan prinsip-prinsip Rukun Negara yang sekian lama menjadi amalan dan penghayatan kita.
Kita sama ada di kota mahupun di desa, malah di luar negara sekalipun laungan 1Malaysia tidak lekang dari bibir rakyat Malaysia di setiap majlis dan aktiviti masyarakat.
Setelah hampir dua tahun pelaksanaannya, Malaysia kini menjadi simbol dan sebutan yang menyemarakkan semangat patriotisme dan perpaduan. Sudah tentu kejayaan sebegini kurang disenangi oleh pihak tertentu yang hanya memikirkan manfaat politik yang dapat diraih apabila berlaku persengketaan dan perselisihan antara kaum. Oleh itu, pihak seperti ini akan sentiasa mencari jalan untuk memutarbelitkan fakta, mengaburkan yang jelas dan menggelapkan yang terang demi mewujudkan model politik yang boleh mereka perdagangkan.
Pendek kata walau beribu kali diterangkan sekalipun, walau jelas mendapat sokongan padu sebilangan besar rakyat negara ini sekalipun, akan sentiasa berlaku peranan pihak-pihak tertentu yang mencari muslihat untuk menimbulkan penafsiran yang berbeza lagi mengelirukan. Golongan ini sebenarnya tidak perlu dipedulikan.Yang jelas hari ini sebilangan besar rakyat Malaysia tertarik dan menerima 1Malaysia sebagai satu gagasan yang mengeratkan talian muhibah di kalangan semua kaum selain menyemarakkan semangat cinta kepada negara dan inilah matlamat utama konsep ini diperkenalkan... [Tepuk]
Tuan Zulkifli bin Noordin - Kulim Bandar Baharu
Terima kasih Tuan Yang di- Pertua dan terima kasih Yang Amat Berhormat Perdana Menteri. Persoalannya Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, konsep 1Malaysia ini, ia dah stretch sampai ‘teh tarik 1Malaysia pun sudah ada’, sampai iklan sebut ‘kita bukan kawan, kita adik-beradik’. Ia dah jadi plastik. 1Malaysia ini konsepnya bagus tetapi dikelirukan. Contohnya bagi orang Melayu, 1Malaysia ini maknanya tidak ada lagi sekolah Cina, sekolah Tamil, tidak ada, semua Melayu. Bagi orang bukan Melayu pula, 1Malaysia maknanya tidak ada hak keistimewaan orang Melayu, semua sama rata, sama rasa. Itu confusion yang ada sekarang ini.
Jadi pada saya Tuan Yang di-Pertua, adakah kerajaan sedar ada segelintir rakyat Malaysia di bawah konsep 1Malaysia ini dia tidak faham konsep 1Malaysia, ada rakyat Malaysia segelintir sahaja yang khianat dengan memburuk-burukkan negara di luar. Bukan sahaja di dalam negara dia buat, di luar pun, sampai berbohong.
Tuan Zulkifli bin Noordin - Kulim Bandar Baharu
Jadi maksud saya Tuan Yang di-Pertua, kita perlu ada konsep seperti Malaysian- First dengan prinsip, “Negara Didahulukan, Rakyat Diutamakan”. Kenapa kita tidak mencontohi Yang Berhormat Mulia Gua Musang contohnya yang tidak memburukkan negara di luar walaupun berlaku krisis beliau dengan mantan Perdana Menteri sehingga negara hampir pecah dua. Kenapa kita tidak ambil contoh bekas Presiden Israel sendiri, Moshe Kastav ataupun Perdana Menteri Itali, Berlusconi yang mendakwa ada konspirasi untuk menjatuhkan beliau berikutan dakwaan... [Dewan riuh]
Timbalan Yang di-Pertua - Datuk Ronald Kiandee
Ya.
Tuan Zulkifli bin Noordin - Kulim Bandar Baharu
The truth hurt, kebenaran itu sakit.
Timbalan Yang di-Pertua - Datuk Ronald Kiandee
Yang lain diam Yang Berhormat.
Tuan Zulkifli bin Noordin - Kulim Bandar Baharu
Kenapa kita tidak mencontohi bekas Presiden Israel Moshe Kastav ataupun Perdana Menteri Itali Berlusconi, mereka dituduh merogol gadis bawah umur tetapi mereka tidak pula pergi ke Amerika, Australia untuk minta bantuan. Presiden Israel pun tidak minta bantuan Yahudi untuk membantu dia... [Dewan riuh]
Timbalan Yang di-Pertua - Datuk Ronald Kiandee
Ya, pendekkan Yang Berhormat.
Tuan Zulkifli bin Noordin - Kulim Bandar Baharu
Kita tidak perlu bohong ke luar negara, hanya bagi setitik darah... complete!... [Tepuk] Saya hendak ulang balik, kita tidak payah bohong di luar negara hanya bagi setitik darah selesai masalah!... [Dewan riuh]
Timbalan Yang di-Pertua - Datuk Ronald Kiandee
Ya, tidak payah memekik Yang Berhormat! Habiskan Yang Berhormat.
Tuan Zulkifli bin Noordin - Kulim Bandar Baharu
Apa you tidak ada darahkah?
Timbalan Yang di-Pertua - Datuk Ronald Kiandee
Yang Berhormat Kulim Bandar Baharu rasanya dah soal Yang Berhormat.
Tuan Zulkifli bin Noordin - Kulim Bandar Baharu
Jadi soalannya Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, adakah kerajaan bercadang supaya memberi olahan baru terhadap konsep 1Malaysia ini supaya kita ada konsep seperti Malaysian-First dengan prinsip “Negara Didahulukan, Rakyat Diutamakan”. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Dato' Sri Mohd. Najib bin Tun Abdul Razak
Tuan Yang di-Pertua, bab pertama tadi tidak perlu kepada jawapan cuma saya hendak kata barangkali sebab itulah Yang Berhormat Kulim Bandar Baharu sudah keluar daripada parti pakatan pembangkang...
[Dewan riuh] Hilang kepercayaan. Orang yang memburukkan negara di luar dan sebagainya menyebabkan Yang Berhormat itu sudah duduk di tengah-tengah, lebih mirip ke sebelah kita sekarang.
Tuan Yang di-Pertua, dari segi olahan, kita perlu terus memberi penjelasan yang lebih terperinci sebab saya anggap walaupun kita sudah banyak memberi penjelasan dan peningkatan pun semakin ketara tetapi penjelasan demi penjelasan perlu kita berikan supaya kita sampai satu peringkat di mana kefahaman terhadap Gagasan 1Malaysia ini dapat difahami sepenuhnya.
Datuk Ismail Kasim - Arau
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua dan terima kasih Yang Amat Berhormat Perdana Menteri. Sejak diperkenalkan daripada awal lagi ianya telah dipolemikkan dan pihak yang telah mengatakan bahawa idea ini bukanlah idea daripada Yang Amat Berhormat sendiri malah mereka mengatakan diciplak dan mendapat pandangan daripada negara tertentu. Jadi setakat ini setelah ianya dilaksanakan selama dua tahun kita lihat kesan kepada rakyat amatlah besar dan ada pihak yang tidak berpuas hati kerana melihat suasana perpaduan yang semakin baik dan mula difahami oleh rakyat dalam konteks pemahaman masing-masing.
Datuk Ismail Kasim - Arau
Ini menyebabkan ada pihak merasakan bahawa ini tidak patut berlaku seperti mana mereka menentang program-program yang baik seperti PLKN dan sebagainya untuk meningkatkan suasana integrasi dan perpaduan di kalangan rakyat.
Jadi saya mohon penjelasan daripada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, setakat ini apakah tindakan dan usaha yang lebih gigih yang harus dibuat seperti kita mengadakan satu program ataupun rancangan seperti seminit yang menyerupai Hari Ini Dalam Sejarah misalnya yang kita tingkatkan pemahaman kepada rakyat bahawa dalam kita untuk mencapai visi dan wawasan negara adalah amat perlu untuk kita meningkatkan pemahaman di kalangan rakyat dan usaha sebegini sebenarnya perlu dibuat oleh semua kementerian terbabit dan berterusan.
Jadi saya mohon penjelasan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri setakat ini apakah usaha-usaha dan perancangan yang lebih jitu yang perlu dilaksanakan oleh kerajaan dalam menjayakan wawasan yang cukup mulia ini. Terima kasih.
Dato' Sri Mohd. Najib bin Tun Abdul Razak
Tuan Yang di-Pertua, seperti mana saya katakan tadi kita telah pun memberi penjelasan tetapi apa yang perlu ialah untuk mereka memahami bukan sahaja pengertian dan maksud 1Malaysia itu tetapi dihubungkaitkan dengan Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan sebagai satu landasan prinsip yang boleh membawa kepada kekuatan yang besar kepada negara kita dan apabila Gagasan 1Malaysia diperkenalkan mereka yang menentang konsep ini seperti membuat tuduhan yang tidak berasas sama sekali kononnya diciplak daripada negara Israel sebenarnya telah pun kita jawab di mana orang yang bertanggungjawab atas konsep 1Israel itu kata bahawa ini tidak ada kaitan sama sekali dengan apa yang berlaku di Malaysia. Akan tetapi apabila pihak tertentu melihat bahawa konsep 1Malaysia ini satu ancaman politik kepada mereka sebenarnya, itu sebab mereka menentang. Ini bukan soal politik Tuan Yang di-Pertua, ini soal masa depan negara Malaysia kita yang tercinta.
Dr. Tan Seng Giaw - Kepong
Tuan Yang di-Pertua, soalan tambahan. Saya berharap yang disebutkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri tadi dapat dilaksanakan dengan berkesan di negara ini dan adakah Yang Berhormat sedar setiap kali kita mempunyai Perdana Menteri yang baru, cogan kata memang timbul dan terakhir sekali 1Malaysia dan bolehkah Yang Berhormat menerangkan...
Dato' Seri Haji Azmi Khalid - Padang Besar
Apa beza dengan 1Malaysia dengan Malaysian Malaysia punya?
Timbalan Yang di-Pertua - Datuk Ronald Kiandee
Yang Berhormat ...
Dr. Tan Seng Giaw - Kepong
Yang Amat Berhormat, mereka tidak mahu 1Malaysia. Apa terjadi sekarang? Bolehkah Yang Berhormat menerangkan kepada Dewan yang mulia ini bagaimana kita boleh mengelakkan tindakan ataupun hujah-hujah politik yang boleh merosakkan perpaduan di dalam negara ini walaupun... [Dewan riuh] Apa masalah di belakang?
Dato' Shamsul Anuar Nasarah - Lenggong
Yang Berhormat Kepong buat fashion showkah?
Dr. Tan Seng Giaw - Kepong
Ini tanya Yang Berhormat Padang Rengas, lebih pentingkah ini?
Dato' Shamsul Anuar Nasarah - Lenggong
Yang Berhormat Kepong, ini bukan fashion show.
Dr. Tan Seng Giaw - Kepong
Bolehkah Yang Berhormat terangkan bagaimana kita boleh mengelakkan daripada semua pihak yang membangkitkan perkara-perkara yang boleh merosakkan perpaduan negara kerana saya percaya apa yang disebutkan oleh Yang Amat Berhormat ialah untuk mewujudkan suasana yang boleh menyampaikan satu keadaan bersatu padu di negara ini.
Dato' Sri Mohd. Najib bin Tun Abdul Razak
Terima kasih. Pertamanya saya hendak nyatakan kalau Yang Berhormat Kepong sudi pakai lencana 1Malaysia saya boleh hadiahkan ini kepada Yang Berhormat... [Ketawa]
Dato' Sri Mohd. Najib bin Tun Abdul Razak
Kedua mengenai perkara-perkara yang boleh merosakkan perpaduan nasional ini kita perlu tangani. Saya tidak kata bahawa dalam keadaan hari ini semuanya ideal, tidak ada masalah sama sekali. Memang mesti ada masalah dalam sebuah masyarakat yang begini kompleks dan begini besar dari segi kepelbagaiannya. Akan tetapi apabila kita ada sesuatu gagasan maknanya mereka boleh melihat nilai-nilai yang boleh dihayati oleh setiap rakyat Malaysia. Apabila nilai dan pemikiran kita ini menjurus kepada Gagasan 1Malaysia, banyak masalah yang boleh dikatakan masalah perkauman ataupun masalah antara kaum dapat kita kurangkan.
Dato' Haji Tajuddin Abdul Rahman - Pasir Salak
Tuan Yang di-Pertua, terlebih dahulu izinkan saya untuk merakamkan takziah kepada Encik Mat bin Abdullah bekas Setiausaha Politik kepada mantan Menteri, Allahyarham Tan Sri Megat Junid yang telah berkhidmat begitu lama sebagai Setiausaha Politik dan juga pemimpin akar umbi yang banyak menyumbang kepada rakyat dan juga masyarakat dan juga sebagai pegawai khas saya. Saya ingin merakamkan takziah kepada keluarganya dan mohon maaf kepada mereka kerana tidak dapat bersama pada pagi ini dalam upacara pengebumian, insya-Allah selepas ini sebelah petang saya akan bersama mereka.
3. Dato' Haji Tajuddin Abdul Rahman [Pasir Salak] minta Perdana Menteri menyatakan, apakah peranan dan sumbangan kepada negara oleh Wanita Pertama Negara dalam beberapa siri lawatan ke luar negeri.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri - Dato' Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz
Tuan Yang di-Pertua, untuk makluman Ahli Yang Berhormat peranan lawatan rasmi yang dibuat oleh isteri Perdana Menteri dalam beberapa siri lawatan ke luar negara adalah seperti berikut, ke:
(i) Dubai, UAE pada 26 hingga 27 Oktober 2009 bagi menyampaikan ucaptama di Seminar Kepimpinan Wanita;
(i) Singapura - pada 15 Disember 2009 bagi menyampaikan ucaptama di Forum Wanita ASEAN;
(ii) Riyadh, Arab Saudi - pada 6 Januari 2011 hingga 10 Januari 2011 bagi menyampaikan ucaptama di Seminar Antarabangsa Pertama mengenai Pengurusan Kualiti Pendidikan K-12 atas jemputan Timbalan Menteri Pelajaran Arab Saudi;
(iii) Muscat, Oman - pada 16 Januari 2011 hingga 18 Januari 2011 bagi menerima undangan daripada Menteri Pembangunan Sosial Kerajaan Oman; dan
(iv) Dhaka, Bangladesh - pada 20 Januari 2011 bagi menerima undangan Madam Cherie Blair, penaung di Asian University for Women dan menyampaikan ucaptama di simposium memikirkan masa hadapan Asia, idea dan hala tuju ke arah perubahan.
Undangan terhadap isteri Perdana Menteri untuk menyampaikan ucaptama ini ialah pengiktirafan dan penghormatan kepada Malaysia sebagai antara negara Islam (OIC) yang mempunyai dasar, strategi dan pelaksanaan terbaik dalam bidang pendidikan, pendidikan awal dan penjagaan kanak-kanak, pembangunan wanita dan kebajikan. Kepada Yang Berhormat Kulim Bandar Baharu, lawatan ini sudah pasti bukan untuk memburukkan negara.
Dato’ Haji Tajuddin Abdul Rahman - Pasir Salak
Terima kasih Yang Berhormat Menteri. Saya juga ucap terima kasih, syabas dan tahniah kepada Datin Seri Wanita Pertama kita. Saya rasa jawapan tadi telah menjelaskan banyak persoalan dan juga keraguan serta tuduhan, tohmahan daripada pelbagai pihak.
Saya ingin bertanya kepada Yang Berhormat Menteri, apakah tindakan kerajaan selanjutnya untuk memperjelaskan persepsi negatif daripada pihak-pihak lain termasuk daripada pihak pembangkang yang selalu membangkitkan perkara ini supaya perkara ini tidak berlanjutan lagi menjadi satu isu yang dipertikaikan. Terima kasih.
Dato’ Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz
Terima kasih Yang Berhormat. Tindakan yang kita ambil untuk memastikan supaya segala tohmahan dan fitnah yang dibuat terhadap isteri Perdana Menteri ini ialah dengan kita menjawab segala soalan yang dibangkitkan sama ada dalam soalan lisan ataupun dalam perbahasan. Dijawab dalam Dewan dan bukan kita bercakap di kedai kopi, ataupun stall cendol, atau mana-mana. Jadi sebab itu kita segala apa perkara dibangkitkan, kita jawab dalam Dewan dan dalam Dewan tidak boleh menipu. Sebab itu saya kira kalau mahu bertanya, tanya dalam Dewan. Jadi betul-betul orang yang mahu tahu tentang maklumat dan bukan untuk fitnah dan tohmah di kedai kopi dan stall cendol.
Puan Siti Zailah Mohd. Yusoff - Rantau Panjang
Terima kasih Tuan Yang di- Pertua dan terima kasih Yang Berhormat. Ini bukan tohmahan, ini adalah kenyataan. Saya ingin penjelasan daripada Yang Berhormat berkenaan dengan kenyataan Datin Seri Rosmah berkenaan dengan tragedi tsunami yang berlaku di Jepun, yang cukup memalukan negara apabila menyatakan bahawa tsunami yang melanda di Jepun seolah-olah kerana kegagalan negara Jepun untuk melaksanakan pembangunan yang mesra alam. Jadi ini adalah satu kenyataan yang memalukan negara.
Begitu juga pelaksanaan Islamic Festival Fashion (IFF) yang dibuat di Eropah yang jelas bercanggah dengan Islam dan menghina nama Nabi Muhammad SAW. Ini sepatutnya kerajaan meminta maaf kepada rakyat Malaysia, bukan sahaja Malaysia tetapi umat Islam seluruh dunia. Saya ingin penjelasan daripada pihak kementerian. Apakah sebenarnya bidang tugas dan skop, bidang tugas sebenar, bidang kuasa sebenar First Lady ini sehingga kita tidak mahu dia mencampuri urusan yang bukan bidang kuasanya... [Tepuk] Kita tidak mahu dia mencampuri sesuatu yang bukan kepakarannya. Minta penjelasan.
Dato’ Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz
Dia otak macam ini yang buat orang Islam ke belakang ini... [Dewan riuh] Kita...
Seorang Ahli
Apa marah ini.
Seorang Ahli
Jawablah!
Dato’ Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz
Kita tidak marah. Siapa marah?.. [Dewan riuh]
Timbalan Yang di-Pertua - Datuk Ronald Kiandee
Yang Berhormat, Yang Berhormat.
Dato’ Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz
Dia beginilah... Akan tetapi saya appreciate sebab dia tanya dalam Dewan. Tidak macam Ahli Parlimen PAS lelaki, bising dekat dalam kedai kopi dan di cendol stall sahaja.
Seorang Ahli
Allahuakbar! Jawablah.
Timbalan Yang di-Pertua - Datuk Ronald Kiandee
Yang Berhormat.
Seorang Ahli
Jawablah itu. Dengarlah.
Dato’ Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz
Yang Berhormat Kuala Langat hendak dengarkah? Tuan Yang di-Pertua, pertamanya saya hendak sebut di sini. Ini memang style PASlah. Kalau hendak baca, baca ayat sekerat sahaja. Kita kena baca apa yang disebut oleh First Lady kita berkenaan dengan apa yang berlaku di Jepun itu dalam konteks yang penuh. Jangan baca sekerat. Kita boleh pilih ayat sekerat dan kita kata macam-macam.
Akan tetapi ayat itu mesti dibacakan dalam kandungan sepenuhnya. Ada penjelasan dia. Itu pertamalah. Jangan ‘dok’ baca sekerat. Jangan baca sekerat.
Nombor dua saya hendak beritahu. Nombor dua... [Disampuk] Ya, jangan baca sekerat. You baca, ada penjelasannya.
Dr. Dzulkefly Ahmad - Kuala Selangor
Baca Yang Berhormat Menteri. Kita hendak dengar.
Dato’ Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz
Ya. Lain kali bacalah.
Dr. Dzulkefly Ahmad - Kuala Selangor
Itu tuduhan, Yang Berhormat Menteri. Itu tuduhan.
Timbalan Yang di-Pertua - Datuk Ronald Kiandee
Yang Berhormat.
Dato’ Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz
Bagi notis dulu. Saya boleh baca. Okey.
Bangun, berdiri, tanya terus. Macam mana?
Tuan Zulkifli bin Noordin - Kulim Bandar Baharu
Masuk suku, jadi tiga suku.
Dato’ Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz
Sebab itu saya kata jangan baca sekerat, ya. Itu pertama.
Keduanya, majlis-majlis yang dijemput atas jemputan daripada host kita, kita pergilah. Kalau Yang Berhormat tidak suka kepada fashion show - saya percaya ramai, 45 peratus orang negara Malaysia ini bukan beragama Islam yang juga merupakan rakyat Malaysia. Yang juga rakyat Malaysia yang kita harus...
Dr. Lo’ Lo’ Haji Mohamad Ghazali - Titiwangsa
Islamic Festival Fashion, Yang Berhormat Menteri.
Dato’ Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz
Yang juga kita harus...
Dr. Lo’ Lo’ Haji Mohamad Ghazali - Titiwangsa
Islamic Festival Fashion!...
[Dewan riuh]
Dato’ Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz
Yang juga harus kita ambil kira. Jangan ‘dok’ kira negara ini semuanya Islam sahaja.
Timbalan Yang di-Pertua - Datuk Ronald Kiandee
Yang Berhormat, tidak perlu menyampuk macam itu, Yang Berhormat.
Dato’ Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz
Ada perkara-perkara yang ada kaitan dengan mereka yang bukan beragama Islam, yang kita juga kena ambil kira. Saya juga hendak beritahu tidak bangkit soal campur urusan dalam pengurusan negara. Siapa cakap ini? Ini fitnah, tohmah dan menipu... [Disampuk] Saya hendak supaya Yang Berhormat Rantau Panjang beritahu...
Dr. Dzulkefly Ahmad - Kuala Selangor
Kita mengingatkan.
Dato’ Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz
Dalam kes-kes tertentu di mana yang ada berlaku campur urusan. First Lady kita pergi ke mana-mana, itu bukan dia pergi dabik dada kata jemputlah saya. Ini jemputan yang dibuat oleh negara-negara dan dia pergi atas lawatan. Saya minta maaflah kalau Yang Berhormat Rantau Panjang tidak ada sesiapa panggil pun untuk bagi ucaptama... [Ketawa]
Puan Nurul Izzah Anwar - Lembah Pantai
Tambahan, Tuan Yang di-Pertua.
Tambahan, Tuan Yang di-Pertua. Satu lagi tambahan soalan. Berdasarkan fakta.
4. Dr. Dzulkefly Ahmad [Kuala Selangor] minta Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri menyatakan, apakah persediaan kerajaan dalam menangani senario pasca AFTA 2015 ketika persaingan sektor automobil akan menjadi lebih sengit khususnya dalam menangani ‘lambakan’ atau ‘over-capacity’ dari segi impak terhadap ‘pembekal-vendor’ dan ‘dealers’.
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri l - Dato’ Mukhriz bin Tun Dr. Mahathir
Bismillaahir Rahmaanir Rahiim. Assalamualaikum warahmatullaahi wabarakaatuh.
Tuan Yang di-Pertua, Perjanjian Perdagangan Bebas Asian (AFTA) telah dilaksanakan secara berperingkat sejak tahun 1993 lagi dan direalisasikan sepenuhnya mulai 1 Januari 2010. Pelaksanaan AFTA antara lain melibatkan pengurangan dan penghapusan duti import. Bagi sektor automotif, semua produk automotif termasuk kenderaan, komponen dan alat ganti telah dihapuskan duit import sejak 1 Januari 2010.
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri l - Dato’ Mukhriz bin Tun Dr. Mahathir
Ini bermakna bagi semua jenis kenderaan perdagangan dan penumpang serta komponen alat ganti kenderaan di enam negara asal ASEAN iaitu Brunei, Filipina, Indonesia, Malaysia, Singapura dan Thailand tidak lagi mempunyai duti import. Bagi negara-negara seperti Kemboja, Laos, Myanmar dan Vietnam, kadar duti import masih dikenakan. Produk-produk yang diimport dari luar ASEAN dikenakan duti import di antara 5 peratus hingga 30 peratus.
Untuk makluman Ahli-ahli Yang Berhormat, vendor dan pengedar kenderaan di pasaran tempatan telah pun menghadapi persaingan sejak AFTA dilaksanakan di mana duti import telah dikurangkan secara berperingkat. Namun begitu, sebahagian besar syarikat- syarikat tempatan telah berjaya menghadapi persaingan ini. Malah di antara vendor tempatan seperti APM Automotive Holdings Berhad, Ingress Engineering Sdn. Bhd. dan Hicom-Teck See Sdn. Bhd. telah berjaya mengeksport produk-produk mereka ke negara- negara ASEAN dan juga ke negara-negara lain.
Pada tahun 2010, jumlah eksport komponen dan alat ganti adalah sebanyak RM5 bilion di mana eksport ke Indonesia adalah sebanyak RM1.1 bilion; Thailand sebanyak RM772.7 juta; dan Singapura sebanyak RM549.8 juta. Ini bermakna pembukaan pasaran melalui AFTA telah memberi persaingan yang sihat kepada vendor-vendor tempatan sehingga mereka boleh memanfaatkan pembukaan pasaran negara-negara ASEAN dengan mengeksport produk-produk keluaran mereka.
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri l - Dato’ Mukhriz bin Tun Dr. Mahathir
Tuan Yang di-Pertua, di samping usaha-usaha syarikat tempatan meningkatkan lagi daya saing mereka, kerajaan juga turut membantu melalui langkah-langkah berikut:
(i) menyediakan pakej geran dan insentif yang komprehensif seperti Dana Pembangunan Automotif (ADF), Dana Penyelarasan Industri (IAF) dan Skim Pinjaman Mudah Automasi dan Modenisasi (SLSAD) dan menggalakkan rasionalisasi pengedar kenderaan dan pembekal komponen automatif untuk mewujudkan struktur industri yang komparatif melalui ADF; dan
(ii) di samping itu, Institut Automotif Malaysia (MAI) telah ditubuhkan oleh kerajaan pada tahun 2010 bagi membantu dan mengukuhkan pembangunan industri automotif tempatan.
Peranan utama MAI adalah termasuk penggubalan dasar, pembangunan modal insan serta penyelidikan dan pembangunan dalam industri automotif.
Dr. Dzulkefly Ahmad - Kuala Selangor
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, terima kasih Yang Berhormat Timbalan Menteri. Jawapan beliau saya kira baik. Tambahan daripada situ Tuan Yang di-Pertua, pokok persoalan yang menghadapi sektor automotif kita di negara ini Tuan Yang di-Pertua, adalah economy of scale. Dalam berdepan dengan persaingan ketika AFTA 2015 akan berkuat kuasa, negara jiran Thailand seperti contohnya Tuan Yang di-Pertua, akan meningkatkan pengeluaran mereka ke jumlah 3 juta unit dengan 2 juta eksport, 1 juta keperluan domestik. Tujuh jenama besar, dua daripada Amerika, lima daripada Jepun beroperasi di situ. Negara jiran Indonesia daripada pemikiran saya meningkatkan kepada dua juta dengan satu juta untuk eksport, satu juta untuk keperluan domestik.
Persoalannya Tuan Yang di-Pertua, untuk Yang Berhormat Timbalan Menteri, kita hanya punya bukannya pengeluaran tetapi sales sebanyak 620,000 setahun. Seluruhnya.
Maka, persoalannya adalah persoalan economy of scale. Soalan tambahan saya Tuan Yang di-Pertua, mampukah kita dalam berdepan dengan cabaran ketika mana sudah tidak ada lagi perlindungan tarif dan juga eksais duti mampukah kita untuk mendapat satu strategic partner yang dengan itu mampu melonjakkan keupayaan kita dengan menggunakan teknologi mereka dan cakupan ataupun rangkaian network pasaran mereka sama ada ia disebut sedikit waktu dahulu Volvo tetapi Volvo sudah pergi dengan DRB, Nissan atau seumpamanya.
Dr. Dzulkefly Ahmad - Kuala Selangor
Maka, persoalannya yang hendak saya tanya Tuan Yang di-Pertua untuk Yang Berhormat Timbalan Menteri, mampukah kita mendapatkan dalam waktu yang terdekat satu strategic partner untuk menyelamatkan 250 vendor-vendor kita ini. Apakah kaedah merger dan acquisition Proton dan Perodua itu satu kaedah penyelesaiannya. Apakah Daihatsu sanggup untuk terus bersama kita? Di sini persoalannya adalah persoalan economies of scale dan competitiveness. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Minta dijawab.
Dato' Mukhriz bin Tun Dr. Mahathir
Terima kasih Yang Berhormat Kuala Selangor di atas soalan tambahan sebentar tadi. Seperti yang dinyatakan sebelum ini kita semakin kompetitif. Kalau kita lihat sahaja dari segi rasionalisasi yang berlaku sejak kebelakangan ini jumlah vendor pun berkurangan kerana sudah berlaku consolidation di dalam industri tersebut dan apabila itu berlaku kita harapkan bahawa ekonomi berskala yang disebutkan oleh Yang Berhormat tadi akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh mereka.
Yang keduanya, dalam soal eksport pula kita dapati bahawa vendor-vendor kita sekarang ini memang berkemampuan untuk bersaing di pasaran terbuka di luar sana. Kalau pada tahun 2009 kenderaan bermotor berjumlah RM662 juta dieksport, kita lihat peningkatan 34.3 peratus kepada RM888.8 juta. Ini nilai, bukan dari segi unit. Dari segi komponen pula satu peningkatan yang begitu ketara 22.8 peratus peningkatan daripada RM4.071 bilion Yang Berhormat kepada RM4.998 bilion. Jadi ini membuktikan kepada kita bahawa ekonomi berskala yang disebutkan oleh Yang Berhormat tadi memang dimanfaatkan sepenuhnya oleh syarikat-syarikat tempatan. Bukan hanya dalam bentuk CBU eksport sahaja tetapi juga dalam industri komponen.
Oleh kerana itu, walaupun memang rakan kongsi strategik seperti yang dinyatakan oleh Yang Berhormat itu memang agaknya masih dipertimbangkan. Buat masa ini keputusan masih belum dibuat dan dari semasa ke semasa saya ingat ada pihak-pihak tertentu yang berhubung dengan syarikat kenderaan nasional kita untuk berbincang mengenai potensi untuk berkongsi teknologi dan juga pasaran.
Ir. Haji Hamim bin Samuri - Ledang
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Saya yakin pemain industri kenderaan tempatan termasuklah para jurutera dan sebagainya sangat kreatif dan inovatif di dalam memainkan peranan industri kenderaan untuk berdepan dengan AFTA. Jadi Tuan Yang di-Pertua, soalan saya apakah langkah-langkah yang telah pun dibuat oleh pihak MITI kepada pemain industri kenderaan ini supaya mereka lebih inovatif, lebih kreatif di mana akhirnya rakyat Malaysia lebih memilih kenderaan tempatan berbanding dengan kenderaan import dan pada masa sama kita mampu memasarkan kenderaan kita dengan berteraskan kepada kos ataupun harga yang murah, rupa bentuk, ciri-ciri keselamatan, kemudahan alat ganti termasuk pasaran. Ini langkah-langkahnya.
Saya yakin boleh dibuat tetapi apakah langkah-langkah itu yang telah pun ada dalam perancangan pelan tindakan MITI itu sendiri untuk kita yakin kepada masalah berdepan dengan AFTA. Sekian, terima kasih.
Dato' Mukhriz bin Tun Dr. Mahathir
Terima kasih Yang Berhormat Ledang di atas soalan tersebut. Tuan Yang di-Pertua, di bawah pakej rangsangan ekonomi yang kedua sebanyak RM200 juta telah diperuntukkan bagi Dana Pembangunan Automotif (ADF) seperti yang saya nyatakan tadi untuk pelaksanaan tiga program. Yang pertama, RM60 juta bagi program konsolidasi pengedar dan rasionalisasi vendor Proton. Yang keduanya, RM125 juta bagi Skim Pinjaman Mudah Vendor untuk sektor automotif SLSAD dan yang ketiganya, RM15 juta bagi program galakan eksport dan bina upaya sektor automotif.
Antara aktiviti yang dijalankan daripada tiga-tiga program ini adalah untuk contohnya program konsolidasi pengedar dengan peruntukan sebanyak RM20 juta untuk mengurangkan jumlah pengedar. Program rasionalisasi vendor dengan peruntukan RM40 juta bagi pembangunan vendor tier satu sebanyak RM13 juta. Rasionalisasi konsolidasi vendor sebanyak RM7 juta dan peningkatan eksport dan bantuan kewangan RM20 juta.
Selain daripada itu di bawah SLSAD atau Skim Pinjaman Mudah Vendor pula ianya adalah semata-mata untuk menggalakkan pengeluar komponen dan alat ganti kenderaan untuk merasionalisasi operasi dan membantu syarikat dalam perolehan dan pembangunan peralatan, peningkatan produktiviti dan penambahbaikan prestasi eksport.
Dato' Mukhriz bin Tun Dr. Mahathir
Jumlah peruntukan sebanyak RM125 juta diberikan kepada mereka untuk tujuan tersebut. Sehingga Disember 2010, 54 permohonan berjumlah RM183 juta telah diluluskan.
Kita lihat tadi peruntukannya RM125 juta tetapi yang diluluskan RM183 juta. Bermaksud, berlaku rollover di mana peminjam membayar balik dan kita berkemampuan untuk meluluskan lebih banyak daripada dana yang telah diperuntukkan.
Dato' Mukhriz bin Tun Dr. Mahathir
Ketiganya soal pemasaran yang disebut oleh Yang Berhormat tadi. Program galakan eksport dan bina upaya sektor automotif. Program ini bertujuan untuk menggalakkan eksport produk keluaran syarikat automotif tempatan melalui program Buy- Export Quality Exhibition, dengan izin, dan juga Incoming Buying Mission (IBM) dengan izin, dan Specialist Marketing Mission (SMM) dengan izin, dengan peruntukan bernilai RM8.25 juta. Selain itu, program ini membantu syarikat-syarikat IKS automotif tempatan membangunkan lean production system, dengan izin, di bawah Automotive Technical Experts Assistance Program MAJAICO iaitu Malaysia Japan Economic Partnership Agreement, dengan peruntukan RM6.75 juta.
Saya yakin dengan program-program ini Yang Berhormat Ledang, kita dapat membantu pemain-pemain industri automotif tempatan ini untuk bersaing di peringkat antarabangsa. Terima kasih.
5. Dato’ Sri Haji Zulhasnan bin Rafique [Setiawangsa] minta Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan menyatakan, perancangan kerajaan di dalam membangunkan dan menyelia kawasan letak kereta di pusat bandar dan di kawasan perumahan awam memandangkan keperluan yang semakin meningkat dan pengawalan kesesakan lalu lintas di kawasan-kawasan tersebut.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan - Datuk Seri Panglima Haji Lajim bin Haji Ukin
Tuan Yang di-Pertua, untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan telah menyediakan Garis Panduan dan Piawaian Perancangan Tempat Letak Kereta yang bertujuan untuk membantu pihak berkuasa negeri, pihak berkuasa tempatan dan agensi-agensi pelaksana pembangunan dalam merancang suatu kawasan pembangunan berasaskan pada dasar yang seragam dan piawaian perancangan yang lebih rasional.
Pemakaian dan penguasaan garis panduan dan piawaian yang disediakan oleh pihak berkuasa negeri, pihak berkuasa tempatan dan agensi-agensi pelaksana pembangunan dalam memberikan kelulusan permohonan kebenaran merancang dan kelulusan pelan susun atur adalah penting dalam memastikan kemudahan tempat letak kereta yang disediakan mencukupi serta memenuhi keperluan masyarakat setempat.
Selain daripada itu, pemaju yang mengemukakan permohonan kebenaran merancang juga perlu mengemukakan jangkaan jumlah keperluan tempat letak kereta, bilangan petak yang akan disediakan, jenis struktur tempat letak kereta berserta pelan susun atur dan cara kutipan bayarannya. Sekiranya pemaju tidak berupaya menyediakan tempat letak kereta seperti yang dikehendaki, justifikasi yang kukuh berserta langkah- langkah untuk mengatasi kekurangan tempat letak kereta tersebut perlulah dikemukakan dalam laporan cadangan pemajuan bagi pertimbangan oleh pihak berkuasa tempatan.Terima kasih.
Dato’ Sri Haji Zulhasnan bin Rafique - Setiawangsa
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Saya ucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Timbalan Menteri di atas jawapan kepada soalan saya tadi. Soalan tambahan saya Tuan Yang di-Pertua, berkaitan dengan fenomena migrasi penduduk yang datang dari negeri lain ke Kuala Lumpur. Oleh sebab itu, kerajaan telah membangunkan 35,000 PPR di Kuala Lumpur. Di dalam pembangunan ini, semua sekali setinggan telah pun dipindahkan.
Soalan tambahan saya adalah dari aspek pengisian. Pengisiannya adalah tempat letak kereta mungkin tidak berapa cukup. Kemungkinannya kita perlu tempat letak kereta bertingkat sebab lebih kereta daripada tempat letak kereta.
Dato’ Sri Haji Zulhasnan bin Rafique - Setiawangsa
Pusat riadah dan sukan termasuk padang permainan, rumah-rumah ibadat, pusat aktiviti masyarakat, perpustakaan mini, pusat tuisyen, kemudahan penjaja.
Selain itu, saya bercadang untuk KPKT buat satu kajian di mana satu pembangunan integrated atau kompleks perumahan bersepadu di mana semua sekali isu- isu pengisian yang saya sebutkan tadi dapat diadakan untuk kita mengurangkan masalah- masalah sosial dan juga dalam masa yang sama untuk mempertingkatkan isu-isu keselamatan, kesihatan dan juga pendidikan. Terima kasih.
Datuk Seri Panglima Haji Lajim bin Haji Ukin
Terima kasih Yang Berhormat.
Ada dua persoalan di sini. Pertamanya mengenai dengan rumah yang dibina oleh kerajaan melalui skim PPR. Memang adalah diakui bahawa tempat letak kereta untuk PPR tidak mencukupi. Akan tetapi dalam perancangan itu pun kita telah menambah iaitu 10 peratus pada setiap tempat letak kereta akan ditambah bertujuan untuk memberikan kemudahan kepada pelawat-pelawat yang datang untuk menziarahi keluarga mereka.
Kedua, juga 10 peratus untuk motosikal. Ratio mengenai dengan pangsapuri pula, setiap pangsapuri akan ada dua petak bagi kereta bagi satu unit rumah dan tambahan 20 peratus tempat letak kereta untuk pelawat. Bagi kondo pangsapuri mewah, 2.5 petak kereta bagi satu unit rumah dan tambahan 10 peratus untuk tempat letak kereta untuk pelawat.
Untuk makluman Yang Berhormat juga, bahawa kementerian telah pun menyediakan satu lagi garis panduan yang akan diguna pakai dalam pembangunan akan datang iaitu garis panduan yang akan membolehkan rumah PPR sekarang ini diberi lebih tempat letak kereta iaitu dua tempat letak kereta untuk satu unit rumah PPR. Terima kasih.
Dr. Lo' Lo' Haji Mohamad Ghazali - Titiwangsa
Terima kasih Tuan Yang di- Pertua. Saya ingin bertanya berkenaan permasalahan yang dihadapi oleh penduduk- penduduk terutama di pusat-pusat bandar di pinggir Kuala Lumpur di mana di situ mereka menghadapi masalah dengan parking bermeter yang telah menambahkan kos kepada urusan harian mereka.
Pertamanya, kita sendiri pun membantah sebabnya dekat dengan kawasan perumahan dan biasanya urusan-urusan di pusat bandar tersebut adalah daripada penduduk-penduduk di kawasan perumahan yang berdekatan. Jadi apabila mereka pergi, mereka akan dikenakan caj dan ini merupakan satu tambahan kos kepada urusan harian mereka.
Adakah kerajaan bercadang ataupun Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan bercadang untuk memastikan setiap parking bermeter di situ akan diberi kelonggaran kepada peniaga-peniaga yang memang ada unit-unit atau premis mereka di situ? Ada kad-kad tertentu atau voucher tertentu untuk memastikan mereka mendapat elaun ataupun diskaun untuk meletakkan kenderaan mereka kerana mereka berniaga setiap hari di situ. Jadi saya ingin bertanya, adakah perkara ini dimasukkan sebagai salah satu daripada keperluan yang perlu dipenuhi oleh kontraktor-kontraktor parking bermeter?
Terima kasih.
Datuk Seri Panglima Lajim Ukin
Terima kasih Yang Berhormat Titiwangsa.
Sebenarnya soalan Yang Berhormat terkeluar daripada soalan asal. Apa yang dimaksudkan oleh soalan asal ialah mengenai dengan parking percuma. Jadi yang parking bermeter ini adalah di bawah bidang – kalau di Kuala Lumpur di bawah bidang DBKL dan merekalah yang memutuskan. Jadi saya tidak boleh menjawab di bawah pihak Kementerian Wilayah kerana ini adalah di bawah bidang Kementerian Wilayah. Jadi, saya mohon maaflah kepada Yang Berhormat. Soalan itu nampaknya terkeluar daripada soalan asal.
6. Tuan Wong Ho Leng [Sibu] minta Menteri Pengangkutan menyatakan, sama ada Sarawak dibenarkan memiliki syarikat penerbangan sendiri. Adakah penerbangan langsung Sibu-Singapura dan Sibu-Kota Kinabalu akan dibuka.
Timbalan Menteri Pengangkutan I - Datuk Abdul Rahim bin Bakri
Tuan Yang di-Pertua, untuk makluman Ahli Yang Berhormat, terdapat dua jenis lesen operasi penerbangan yang dikeluarkan oleh Jabatan Penerbangan Awam atau DCA bagi tujuan penubuhan atau pemilikan sebuah syarikat penerbangan di Malaysia bagi tujuan hire and reward iaitu:
(i) Air Service License (ASL) bagi syarikat penerbangan berjadual
(schedule flights); dan
(ii) Air Service Permit (ASP) iaitu bagi syarikat penerbangan tidak berjadual (charter flights).
Permohonan ASP dan ASL boleh dipertimbangkan berdasarkan kepada kriteria- kriteria tertentu yang ditetapkan oleh Jabatan Penerbangan Awam. Di antaranya ialah syarikat itu perlu dimiliki oleh warganegara Malaysia, perlu mempunyai kedudukan kewangan dan modal yang kukuh bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan yang ditawarkan, mempunyai kakitangan dan kepakaran serta pengalaman dalam bidang penerbangan serta pengurusan perniagaan dan selain daripada itu, syarikat ini juga perlu mempunyai pesawat yang bersesuaian dengan perkhidmatan yang ingin ditawarkan.
Timbalan Menteri Pengangkutan I - Datuk Abdul Rahim bin Bakri
Sehingga hari ini, beberapa ASP dan ASL telah diluluskan kepada beberapa syarikat di mana pemiliknya terdiri daripada individu atau syarikat daripada pelbagai latar belakang. Selain daripada itu kerajaan juga telah menyediakan dan memberikan kelulusan kepada tujuh buah syarikat penerbangan di negara ini untuk menyediakan perkhidmatan berjadual iaitu Malaysia Airlines, AirAsia, Firefly, AirAsia X, MASwings dan Berjaya Air bagi perkhidmatan penumpang serta Transmile Air bagi perkhidmatan kargo.
Berhubung dengan pertanyaan Yang Berhormat sama ada penerbangan langsung Sibu – Singapura akan dibuka, sukacita dimaklumkan bahawa memang laluan tersebut telah pun dibuka untuk operasi syarikat-syarikat penerbangan Malaysia dari Malaysia dan Singapura mulai Oktober tahun 2009. Dalam hubungan ini syarikat-syarikat penerbangan Malaysia dan Singapura masing-masing dibenarkan mengadakan penerbangan atau traffic rights sebanyak 28 kali seminggu ke laluan Sibu dan Singapura. Walau bagaimanapun, keputusan ini untuk mengadakan penerbangan ke laluan ini adalah bergantung pada keputusan syarikat-syarikat penerbangan tersebut berdasarkan kepada permintaan dan juga commercial viability. Setakat ini belum ada syarikat yang menerima tawaran tersebut.
Berhubung dengan pertanyaan Yang Berhormat sama ada penerbangan langsung Sibu-Kota Kinabalu akan dibuka, adalah dimaklumkan bahawa penerbangan bagi laluan ini adalah disediakan kepada syarikat MASwings berdasarkan kepada perjanjian perkhidmatan udara (rural air services) di antara kerajaan dan Syarikat MASwings dan dalam hubungan ini syarat-syarat perjanjian seperti hak eksklusif MASwings untuk beroperasi di laluan itu adalah terpakai. Terima kasih.
Tuan Khairy Jamaluddin - Rembau
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Terima kasih atas jawapan Yang Berhormat Timbalan Menteri walaupun tidak ada soalan tambahan daripada Yang Berhormat Sibu. Saya ingin bertanya sebab ini adalah berkenaan dengan kita meningkatkan lagi bilangan pelancong, bilangan perdagangan antara Malaysia dan juga negara-negara antarabangsa melalui air links, dengan izin, yang lebih meningkat.
Jadi soalan saya adalah berkenaan dengan strategi dari segi kerajaan apabila membuat keputusan untuk membuka laluan air routes, dengan izin yang baru. Atas kesedaran itu, saya hendak tahu sama ada strategi ini mengambil kira:
(i) sama ada kita utamakan usaha untuk meningkatkan lagi kedatangan pelancong; ataupun
(ii) kita lebih mementingkan usaha untuk melindungi syarikat penerbangan Malaysia Airlines.
Tuan Khairy Jamaluddin - Rembau
Saya bagi contoh. Contoh saya adalah berkenaan dengan destinasi seperti Sydney. Sydney ini dikenal pasti di dalam Economic Transformation Program (ETP) sebagai satu destinasi utama bagi kita meningkatkan lagi bilangan pelancong dan kita dapat merancakkan lagi ekonomi negara. Akan tetapi sampai hari ini Sydney tidak dibenarkan kepada Syarikat AirAsia X walaupun mereka mendapat kebenaran daripada Kerajaan Australia dan juga daripada airport di Sydney.
Jadi soalan saya adakah Kerajaan Malaysia bersedia untuk melaksanakan apa yang ditulis di dalam ETP itu untuk kita meningkatkan lagi bilangan pelancong dan memberi sumbangan yang positif kepada ekonomi negara daripada kita melindungi sebuah syarikat walaupun syarikat itu adalah syarikat penerbangan utama negara kita. Terima kasih.
Datuk Abdul Rahim bin Bakri
Terima kasih Yang Berhormat. Walaupun soalan ini tidak berkaitan tetapi saya ingin menyatakan di sini bahawa sebenarnya memang menjadi strategi kerajaan untuk mendapatkan lebih ramai pelancong datang ke negara ini dan operasi untuk syarikat-syarikat penerbangan yang ingin beroperasi ke destinasi- destinasi tertentu memanglah digalakkan. Terutama sekarang Malaysia mempunyai komitmen di dalam Open Sky Policy khususnya bagi negara-negara ASEAN.
Berkaitan dengan laluan Sydney seperti mana Yang Berhormat sebutkan tadi sebenarnya ingin saya nyatakan di sini bahawa inilah laluan yang belum kita berikan kelulusan kepada AirAsia atas sebab-sebab tertentu memandangkan route ini telah pun diservice oleh Malaysia Airlines. Melihat kepada kapasiti, kita mendapati bahawa setakat ini belum ada keperluan. Walau bagaimanapun ia boleh dipertimbangkan bagi masa-masa akan datang memandangkan masih ada 16 route tertentu yang telah diluluskan kepada AirAsia X yang belum diservice.
Oleh sebab itu kita mengharapkan supaya AirAsia memberikan perkhidmatan kepada laluan-laluan yang telah diluluskan sebelum ini. Sekiranya terdapat keperluan di masa akan datang, mungkin pihak kementerian boleh mempertimbangkannya. Terima kasih.
Datuk Dr. Marcus Mojigoh - Putatan
[Bangun]
Dato’ Sri Ong Tee Keat - Pandan
[Bangun]
Timbalan Yang di-Pertua - Datuk Ronald Kiandee
Yang Berhormat Pandan.
Datuk Dr. Marcus Mojigoh - Putatan
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Timbalan Yang di-Pertua - Datuk Ronald Kiandee
Yang Berhormat..
Dato’ Sri Ong Tee Keat - Pandan
Saya...
Datuk Dr. Marcus Mojigoh - Putatan
Yang Berhormat Pandan?... [Ketawa]
Dato’ Sri Ong Tee Keat - Pandan
Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Datuk Ronald Kiandee
Bagi bekas Menteri Pengangkutan Yang Berhormat.
Dato’ Sri Ong Tee Keat - Pandan
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Soalan tambahan saya. Sepanjang pengetahuan saya, hak penerbangan eksklusif di Sabah dan Sarawak ini diberi secara eksklusif kepada MASwings atas sebab-sebab yang tertentu. Ini kerana bandar-bandar atau pekan-pekan yang dicakupi itu adalah dianggap rural area di bawah skim RAS ataupun rural air services. Akan tetapi memandangkan bahawa bandar raya Sibu, Kota Kinabalu tidak lagi dikategorikan sebagai pekan ataupun bandar yang kecil, apakah kementerian tidak bercadang untuk memberikan pentakrifan semula kepada RAS ini supaya ia tidak mengelirukan. Sekian.
Datuk Abdul Rahim bin Bakri
Terima kasih Yang Berhormat Pandan yang juga bekas boss saya dahulu. Untuk makluman Tuan Yang di-Pertua, sebenarnya rural air services ini adalah merupakan satu perkhidmatan luar bandar bagi Sabah dan Sarawak untuk memberikan kemudahan kepada penduduk luar bandar di Sabah dan Sarawak mendapatkan perkhidmatan penerbangan khususnya di beberapa tempat tertentu.
Datuk Abdul Rahim bin Bakri
Walau bagaimanapun untuk membolehkan syarikat ini khususnya MASwings dapat beroperasi secara dengan subsidi yang minimum maka beberapa laluan tertentu masih lagi dibenarkan untuk syarikat MASwings ini beroperasi khususnya di laluan seperti Yang Berhormat sebutkan tadi daripada Sibu ke Kota Kinabalu, Kota Kinabalu ke Tawau dan juga Kota Kinabalu ke Sandakan iaitu laluan-laluan yang dianggap profitable. Ia adalah untuk membolehkan supaya MASwings sendiri mendapat sedikit revenue yang tertentu supaya kerajaan tidak menanggung kos subsidi yang lebih banyak sekiranya hanya ditumpukan kepada kawasan-kawasan luar bandar. Terima kasih.
7. Datuk Seri Panglima Haji Abdul Ghapur Salleh [Kalabakan] minta Menteri Kerja Raya menyatakan, sama ada kerajaan berhasrat untuk menambah baik kemudahan jalan raya di negeri Sabah memandangkan bilangan kenderaan yang semakin meningkat dan untuk membantu pembangunan ekonomi negeri Sabah, terutama di kawasan luar bandar dan pedalaman.
Timbalan Menteri Kerja Raya - Dato’ Yong Khoon Seng
Tuan Yang di-Pertua, sebagaimana Ahli Yang Berhormat sedia maklum, rancangan bagi membina jaringan jalan dan lebuh raya di seluruh negara termasuk di negeri Sabah adalah berpandukan kepada Pelan Induk Pembangunan Rangkaian Lebuh Raya atau HNDP dengan izin, Highway Network Development Plan.
Sehubungan itu laporan kajian semula HNDP bagi Malaysia Timur (2010) antara lain telah menggariskan cadangan pelaksanaan projek-projek jalan persekutuan yang akan dilaksanakan di negeri Sabah dalam tempoh Rancangan Malaysia Kesepuluh. Pelaksanaan projek-projek ini akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat oleh Kementerian Kerja Raya dengan mengambil kira kemampuan kewangan kerajaan secara keseluruhannya.
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, dalam tempoh separuh pertama RMKe-10, Kementerian Kerja Raya telah menerima peruntukan sebanyak RM1.212 bilion bagi melaksanakan 13 buah projek baru dan 38 buah projek sambungan dari Rancangan Malaysia Kesembilan untuk negeri Sabah.
Timbalan Menteri Kerja Raya - Dato’ Yong Khoon Seng
Jumlah tersebut merupakan peruntukan yang tertinggi berbanding dengan negeri- negeri lain dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh untuk kementerian ini. Antara projek berkala besar yang akan dilaksanakan di negeri Sabah dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh ini ialah menaik taraf Jalan Sapulut-Kalabakan RM150 juta. Membina Jalan Kota Marudu-Marak Parak-Melinsau-Poring-Ranau. Pakej satu dan dua RM110 juta, membina jalan Segama-Northern Bypass-Lahad Datu, sebanyak RM120 juta, dan menaik taraf Jalan Ranau-Tambunan Fasa 2B sebanyak RM105 juta.
Di samping itu terdapat juga peruntukan yang diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan di bawah kementerian dan agensi-agensi lain bagi meningkatkan aksesibiliti jalan-jalan perhubungan, khususnya di kawasan luar bandar di negeri Sabah. Ini termasuk projek-projek jalan yang dilaksanakan oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah di bawah program Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).
Di samping itu negeri Sabah juga turut menerima peruntukan khas untuk Sabah dan Sarawak di bawah Jabatan Perdana Menteri, untuk pembangunan program-program Koridor Pembangunan Sabah (SDC) termasuk bagi tujuan pembinaan rangkaian jalan raya.
Sekian, terima kasih.
Datuk Seri Panglima Haji Abdul Ghapur Salleh - Kalabakan
Tuan Yang di- Pertua, ini lagu lama, sudah ada peruntukan. Jalan 10 di Kalabakan ini Tuan Yang di- Pertua, rasa saya sudah bawa dalam Dewan bahawa memang peruntukannya besar.
Dahulu, dalam Rancangan Malaysia Kelapan kita banyak peruntukan yang diberi RM700 juta tetapi kita nampak jalan masih gravel lagi. Saya sudah bawa dalam Dewan supaya SPRM siasat, kenapa jalan 146 kilometer, jalan balak apabila diperuntukkan RM700 juta di upgrade satu jalan gravel sahaja, RM700 juta 146 kilometer, boleh masuk akal kah ini? Ini tidak masuk akal.
Datuk Seri Panglima Haji Abdul Ghapur Salleh - Kalabakan
Jadi kita minta jangan kita dengar lagu-lagu lama, kalau kita kata sudah diberi peruntukan untuk Sabah, mungkin kalau boleh beri lagi peruntukan besar. Kalau dibandingkan Sabah, Sarawak dan Semenanjung, jalan raya kita ketinggalan.
Jadi kita minta supaya Menteri dan Timbalan Menteri serius sikit, jumpa dan minta peruntukan yang lebih untuk jalan raya yang saya kemukakan dalam ucapan saya kelmarin.
Ucapan saya kelmarin saya sebut semua jalan raya di Sabah yang perlu diperbaiki untuk dual carriageway sana bermasalah. Jadi Tuan Yang di-Pertua, pagi tadi saya dapat panggilan daripada Presiden Majlis Perbandaran Tawau, dia kata dia akan lawat satu jalan Dumpas menuju ke Kalabakan yang hampir putus. Dia kata sekiranya jalan ini tidak dibuat dalam satu dua minggu ini, jalan akan putus dan banyak masalah yang akan dihadapi kerana di sana menghubungi, termasuk juga kawasan-kawasan FELDA, Umas dan Kalabakan.
Jadi kita minta mungkin kalau yang lain tidak perlu soal, ada masalah sekarang Jalan Dumpas ini, minta Menteri atau Timbalan Menteri, terbanglah esok dan tengok dan terus buat keputusan untuk bina, terima kasih.
Dato’ Yong Khoon Seng
Terima kasih Yang Berhormat Kalabakan. Memang kita serius dalam hal ini. Yang Berhormat juga tahu tidak lama dahulu saya pergi melawat jalan ini Sepulut-Kalabakan. Kita lihat jalan itu yang telah diperuntukkan banyak untuk membuatnya, tetapi ada technical problem kerana ia adalah satu jalan balak, di bawahnya tanah tidak kukuh dan banyak kerja perlu dibuat. Sekarang kita memberi peruntukan dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh, rolling pelan pertama untuk memetakan jalan ini.
Kita tahu jalan-jalan di Sabah dan Sarawak, saya faham dan saya sendiri telah berkata beberapa kali, saya orang Sarawak dan saya tahu banyak benda perlu dibuat tetapi ada juga peruntukan khas dari pihak Perdana Menteri bagi Sabah dan Sarawak untuk rangkaian jalan raya. Akan tetapi dalam kementerian kita, kita tertakluk kepada peruntukan yang sedia diberikan kepada kementerian supaya kita dapat melaksanakannya. Mengenai jalan tadi disebut oleh Yang Berhormat, kita akan membuat satu lawatan ke tempat ini secepat mungkin supaya kita dapat membaiki jalan tersebut. Sekian terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Datuk Ronald Kiandee
Yang Berhormat, tidak semua yang bangun dapat saya beri soalan tambahan. Saya nampak dan mendengar apa yang disebutkan oleh Yang Berhormat Putatan tadi terhadap saya kerana tidak diberi peluang untuk mengemukakan soalan tambahan. Saya harap Yang Berhormat faham tidak semua yang bangun dapat kita beri dan jangan fikir bahawa Yang Berhormat sahaja yang boleh mengemukakan soalan tambahan. Saya beri kepada Yang Berhormat Sepanggar.
Datuk Eric E. Majimbun - Sepanggar
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, terima kasih Timbalan Menteri yang mengatakan banyak peruntukan yang telah diberi untuk Sabah. Memang kita tidak nafikan banyak peruntukan sebab peruntukan itu diberi hanya dalam di dalam kertas sahaja. Apa yang kita dapat lihat, di tempat yang sedia ada memang tidak terjadi apa yang telah diumumkan itu.
Tadi Timbalan Menteri telah mengatakan mengenai peruntukan untuk menyambung jalan raya yang sudah sedia ada, tetapi masalahnya ialah kalau kita sambung jalan raya itu tetapi jalan yang sudah ada itu rosak, buat apa ada jalan raya? Begitu juga sebaliknya, buat apa ada jalan raya sekiranya penyambungan sudah dibuat baik tetapi yang sedia ada sudah rosak. Inilah sebenarnya masalah di Sabah ini, jadi apakah rancangan kerajaan supaya bukan sahaja untuk penyambungan tetapi juga untuk penyelenggaraan.
Berapakah kadar peruntukan yang digunakan untuk penyelenggaraan ini, berapa kadar dalam satu kilometer? Mohon jawapan.
Dato’ Yong Khoon Seng
Tuan Yang di-Pertua, untuk penyelenggaraan jalan di negeri Sabah diberi di bawah MARIS adalah 13 ribu per kilometer satu tahun. Ini yang diperuntukkan dalam MARIS yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri. Sekian, terima kasih.
8. Tuan Haji Ab. Aziz bin Ab. Kadir [Ketereh] minta Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah menyatakan status kemajuan projek pembukaan 1,000 tabika KEMAS yang diperuntukkan sebanyak RM140 juta di bawah Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS).
Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah I - Dato’ Haji Hasan bin Malek
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, kepada sahabat dari Ketereh, terima kasih atas soalan. Untuk makluman Yang Berhormat Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) melalui Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), sedang melaksanakan satu daripada Enam Bidang Keberhasilan Utama Nasional (National Key Result Area) iaitu bidang pendidikan dan juga sub bidang pra sekolah. Sasarannya yang telah ditetapkan untuk KEMAS ialah keluasan kelas tabika sebanyak 2500 buah dalam masa tiga tahun, iaitu 500 buah pada tahun 2010, 1,000 buah pada tahun 2011, tahun ini dan 1,000 buah lagi pada tahun 2012.
Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah I - Dato’ Haji Hasan bin Malek
KEMAS telah mencapai sasarannya pada tahun 2010 iaitu menambah 500 buah kelas tabika dan pada tahun ini tahun 2011 sasarannya adalah seperti berikut:
| Bulan | Sasaran (Bil.) | Jangkaan Pencapaian |
|---|---|---|
| Januari | 400 | 432 |
| April | 400 | 400 |
| Jun | 168 | 168 |
| Jumlah | 1000 |
Insya-Allah. Terima kasih.
Tuan Haji Ab. Aziz Ab. Kadir - Ketereh
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, terima kasih Yang Berhormat Timbalan Menteri. Saya mengucapkan syabas kerana mencapai matlamat sebagaimana yang dirancang. Saya cuma hendak pohon penjelasan sedikit dari segi pemilikan tapak untuk tabika yang mana kita dapati setelah satu tempoh tertentu tabika ini terpaksa dirobohkan atau ditukar menjadi rumah kediaman.
Persoalan saya, apakah langkah yang telah diambil oleh kerajaan untuk mengatasi masalah tersebut yang mana kita dapati ini satu pembaziran dan apakah langkah yang telah diambil oleh kerajaan untuk mengelakkan berlakunya perkara ini? Dari segi pemilikan tapak itu sendiri.
Dato’ Haji Hasan bin Malek
Tuan Yang di-Pertua, kepada Yang Berhormat Ketereh, sebenarnya apa yang saya difahamkan kebanyakan kelas-kelas tabika ini diletakkan di balai-balai raya yang mana kebanyakan balai raya tersebut adalah di bawah seliaan di bawah kerajaan negeri. Jadi kebanyakan beginilah diletakkan tabika-tabika tadi, murid-murid belajar dalam balai-balai raya ataupun rumah-rumah kerajaan yang tinggal untuk mereka belajar. Jadi saya tidak tahu, tidak timbul lagi soal balai raya atau bangunan tadi ditukar pula kepada rumah kediaman.
Saya tidak berapa begitu jelas dengan maksud Yang Berhormat tadi. Kalau misalnya terdapat yang sebegini memang betullah memang ada pembaziran. Pada saya kalau ada maklumat yang sedemikian cuba beritahu kepada saya, saya siasat dan akan saya laporkan balik kepada Yang Berhormat. Maknanya daripada bangunan tadi apabila sampai satu masa ditukar pula menjadi rumah kediaman? Saya rasa tidak timbul lagi pada fahaman saya. Kalau ada saya bersedia untuk menyiasat dan memberi laporan kepada Yang Berhormat. Terima kasih.
Dato’ Ismail bin Abd. Muttalib - Maran
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Terima kasih Yang Berhormat Timbalan Menteri. Saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada kerajaan dan KEMAS dalam usaha kita mendidik anak-anak kecil ini sehingga menjadi pelajar seperti mana yang ada dalam Dewan bersama dengan kita pada hari ini dan juga menjadi insan yang baik. Cuma kadang-kadang minta maaflah Yang Berhormat Timbalan Menteri, saya minta kita berikan perhatian. Saya memberi sokongan padu. Pada setiap tahun bagi Parlimen saya berikan peruntukan yang cukup kepada mereka. Namun kadang-kadang peruntukan ini tidak mencukupi kepada tabika ini. Mereka banyak program yang hendak dilakukan termasuklah membawa anak-anak kecil ini melawat, memberikan pendedahan kepada mereka ke tempat-tempat yang cukup berfaedah tetapi peruntukan tidak ada.
Dato’ Ismail bin Abd. Muttalib - Maran
Jadi saya hendak bertanya Yang Berhormat berapa peruntukan tahun ini yang diberikan kepada tabika-tabika ini yang boleh kita gunakan? Saya juga hendak bertanya apakah – kita ada dua sekarang. Tabika KEMAS dan Tabika Perpaduan dan matlamatnya lebih kurang sama sahaja walaupun dalam konteks yang satu lagi Tabika Perpaduan antara kaum tetapi apakah kerajaan bercadang untuk menggabungkan kedua-dua tabika ini supaya peranan, fungsi mereka dan hasil yang akan kita peroleh dalam konteks 1Malaysia ini dapat kita laksanakan dengan sempurna? Terima kasih.
Dato’ Haji Hasan bin Malek
Terima kasih Yang Berhormat Maran yang juga peka kepada keadaan ini khususnya dalam soal konteks untuk membangunkan modal insan yang memang perlu pada waktu ini.
Jadi daripada soalan Yang Berhormat tadi saya hendak memberitahu bahawa untuk tahun 2011 ini kita telah diperuntukkan khusus untuk rancangan tabika ini sebanyak RM140 juta yang diperlukan. Ini merangkumi perbelanjaan-perbelanjaan termasuklah untuk sewaan bangunan, bahan-bahan makanan dan minuman untuk kanak-kanak, elaun, upah dan sebagainya. Maknanya RM140 juta. Kita akui RM140 juta ini juga tidak mencukupi oleh kerana desakan permintaan dari akar umbi sebab ramai yang telah menganggapkan bahawa KEMAS ini telah berjaya dalam konteks membangunkan modal insan kanak-kanak terutamanya di kawasan luar bandar. Jadi insya-Allah, kurang peruntukan kita akan minta kepada Kementerian Kewangan dan sebagainya. Tiada masalah dalam soal peruntukan itu tadi.
[Tuan Yang di-Pertua mempengerusikan Mesyuarat] Cuma soal yang kedua tadi soal tabika-tabika yang dianjurkan oleh jabatan- jabatan lain seperti Perpaduan dan sebagainya untuk digabungkan setakat ini belum lagi timbul cadangan sebegitu sebab skopnya ataupun sasarannya agak berbeza. Bagi KEMAS kebanyakannya adalah dari kawasan luar bandar manakala Perpaduan ini banyak di kawasan-kawasan bandar, di taman-taman perumahan di mana ada bilangan kaum ramai di situ. Walau bagaimana pun pandangan Yang Berhormat tadi akan diambil kira sesuai dengan hasrat Yang Amat Berhormat Perdana Menteri tentang soal 1Malaysia itu. Insya- Allah kita akan pertimbangkan dan cari jalan. Kemungkinan kalau boleh dilaksanakan, insya-Allah kita laksanakan. Apa yang penting ‘Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan’. Terima kasih.
9. Dato’ Shamsul Anuar Nasarah [Lenggong] minta Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan menyatakan kedudukan Lenggong Tapak Warisan Dunia:
(i) usaha kementerian memelihara kawasan atau bahan warisan penting negara, dan apakah usaha mendapatkan bahan warisan negara yang berada di luar negara; dan
(ii) usaha kementerian meningkatkan kesedaran menjaga bahan warisan negara terutama di kalangan generasi muda.
Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan II - Datuk Maglin Dennis D’Cruz
Tuan Yang di-Pertua, terima kasih Yang Berhormat Lenggong.
(a) proses pencalonan Lembah Lenggong berserta pelan pengurusan telah dikemukakan kepada pihak UNESCO pada 31 Januari 2011. Proses penilaian kebiasaannya akan mengambil tempoh sekitar 18 bulan daripada tarikh penghantaran.
Mengenai usaha pemeliharaan, KPKK melalui Jabatan Warisan Negara telah menyelenggarakan tapak-tapak penting di Lembah Lenggong untuk menyelamatkan tapak tersebut daripada kerosakan. Walk path dan laluan pejalan kaki turut disediakan untuk menggalakkan pelancongan.
Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan II - Datuk Maglin Dennis D’Cruz
Untuk makluman semua bahan warisan negara untuk Lembah Lenggong berada dalam negara. Lembah Lenggong bertuah kerana hampir semua tapak adalah dalam keadaan yang tidak terganggu dan artifak-artifaknya mengandungi bukti yang penting.
(b) tentang usahanya meningkatkan kesedaran, Jabatan Warisan Negara telah mula memberi taklimat kepada masyarakat tempatan tersebut agar mereka sedar tentang kepentingan Lembah Lenggong yang mana akan dapat mewujudkan kesedaran untuk melindunginya. Selain itu program-program kesedaran juga akan dilaksanakan di seluruh negara. Buat permulaan Jabatan Warisan Negara bersama Majlis Daerah Lenggong akan mengadakan Karnival Lembah Lenggong Ke arah Warisan Dunia pada bulan Mei 2011.
Sekian.
Dato’ Shamsul Anuar Nasarah - Lenggong
Tuan Yang di-Pertua, soalan tambahan saya. Mengambil kira bahawa tapak warisan dunia ini cukup besar nilainya kerana bukti telah pun menunjukkan bahawa manusia telah pun berada di kawasan berkenaan sejak 1,800,030 tahun dahulu dan ia merupakan kawasan terawal di kawasan Asia ini. Apakah jangkaan kementerian dan apakah usaha ini akan diterima oleh UNESCO ataupun sebaliknya? Saya ingin hanya mendapat pandangan daripada kementerian.
Datuk Maglin Dennis D’Cruz
Tuan Yang di-Pertua, kerana luasnya terlalu besar dalam 2,185 hektar dan juga proses seterusnya adalah penilaian di peringkat Badan Penasihat UNESCO yang dianggotai 21 negara, keputusan rasmi dijangka pada bulan Julai 2012.
Tuan Yang di-Pertua
Ahli-ahli Yang Berhormat, pertanyaan-pertanyaan bagai jawapan lisan berakhir.
[Masa untuk Pertanyaan-pertanyaan bagi Jawab Lisan tamat]
Perdana Menteri - Dato' Sri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak
Tuan Yang di- Pertua, sebelum saya mengemukakan usul di bawah Peraturan Mesyuarat 27(3) berkenaan dengan bencana gempa bumi dan tsunami di Timur Laut Jepun pada pagi ini, saya mohon kebenaran Tuan Yang di-Pertua untuk menjemput Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian bangun dan bertafakur selama satu minit bagi mengingati mangsa-mangsa bencana tersebut.
Tuan Yang di-Pertua
Sila.
[Dewan bertafakur selama satu minit]
Dato' Sri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak
Terima kasih. Tuan Yang di-Pertua, alhamdulillah kita dapat bersama-sama bersidang dalam Dewan yang mulia ini dengan satu tekad, satu matlamat dan satu suara tanpa dikekang batas agama, bangsa mahupun haluan politik untuk mengangkat satu isu penting yang bukan sahaja menyentuh hati rakyat Malaysia malah semua warga antarabangsa. Sebelum saya bercakap dengan lebih lanjut, izinkan saya mengawali bicara dengan rentetan kejadian yang telah melanda negara matahari terbit, Jepun pada tanggal 11 Mac 2011.
Pada awal petang Jumaat yang lalu, kita telah digemparkan dengan berita bahawa hampir keseluruhan Jepun telah mengalami kejadian gempa bumi yang amat dahsyat dengan pusat gegaran yang terletak di Lautan Pasifik mengalami gegaran hampir 9.0 skala richter. Tokyo juga telah dilaporkan mengalami gegaran 5.0 skala richter. Susulan daripada gegaran yang pertama, Kedutaan Besar Malaysia di Tokyo yang turut mengalami sedikit kerosakan akibat daripada kesan gempa bumi tersebut telah membuka bilik operasi gempa bumi dan telah menghubungi rakyat termasuk para pelajar Malaysia terutamanya mereka yang berada di tujuh kawasan yang mengalami gegaran kuat melebihi 6.0 skala richter dan tsunami iaitu Miyagi, Fukushima, Ibaraki, Tochigi, Iwate, Saitama dan Chiba.
Bilik operasi Kementerian Luar Negeri yang telah beroperasi 24 jam sejak Operasi Piramid pada 28 Januari 2011 juga telah menerima laporan berkenaan bencana tersebut.
Tidak berakhir dengan gempa bumi yang mengakibatkan tsunami dan gegaran susulan yang bersilih ganti memusnahkan harta benda, meranapkan segala infrastruktur dan meragut beribu-ribu nyawa. Jepun bagai tidak lepas daripada genggaman musibah apabila berlaku pula letupan loji reaktor pertama di Pusat Janakuasa Nuklear Fukushima dan kebocoran bahan radioaktif pada 12 Mac 2011, iaitu sehari selepas berlaku gempa kuat dan tsunami di kawasan tersebut. Kegusaran Jepun dalam menangani letupan dan kebocoran radiasi itu ditambah lagi dengan letupan kedua yang telah merosakkan loji reaktor ketiga di pusat janakuasa nuklear yang sama pada hari ketiga bencana, 14 Mac 2011.
Jepun terus ditimpa dugaan apabila loji rektor keduanya pula meletup pada awal pagi 15 Mac. Apa yang jelas, pihak Kerajaan Jepun kini sedang bertungkus-lumus untuk mengawal dan meminimumkan impak dengan meningkatkan langkah berjaga-jaga. Pihak berkuasa Jepun telah mengeluarkan arahan perpindahan kepada penduduk yang tinggal dalam lingkungan 20 kilometer dari pusat janakuasa nuklear tersebut. Walau bagaimanapun, tiada rakyat Malaysia yang dilaporkan terlibat dalam pemindahan kerana tiada rakyat Malaysia yang tinggal dalam kawasan lingkungan 50 kilometer daripada pusat janakuasa nuklear tersebut.
Selepas beberapa hari Jepun dilanda bencana gempa bumi dan tsunami diikuti dengan tragedi letupan loji reaktor di Fukushima, Perdana Menteri Naoto Kan telah menyatakan bahawa Jepun sedang berhadapan dengan krisis yang terburuk sejak Perang Dunia Kedua apabila bilangan terkorban akibat bencana tersebut semakin meningkat dan sehingga kini usaha-usaha mencari dan menyelamat masih lagi diteruskan. Kerajaan Jepun sehingga kini masih belum lagi membuat sebarang pengumuman berhubung jumlah sebenar kerugian yang dialami selepas berlakunya bencana tersebut dan sedikit sebanyak menggugat ekonomi mereka.
Mengikut rekod Kedutaan Besar Malaysia di Jepun, terdapat seramai 5,009 orang rakyat Malaysia yang telah berdaftar dengan kedutaan. Daripada jumlah tersebut, terdapat 2,465 orang pelajar Malaysia yang menuntut di seluruh Jepun. Syukur alhamdulillah kesemua rakyat dan pelajar Malaysia yang telah dapat dihubungi dilaporkan berada dalam keadaan selamat. Hanya seramai 298 orang pelajar Malaysia di kawasan yang terjejas teruk akibat daripada gempa bumi dan tsunami tersebut telah dikenal pasti juga berada dalam keadaan selamat.
Pihak Kedutaan Besar Malaysia di Tokyo telah mengambil langkah awal seperti menghantar dua pasukan untuk memantau dan meninjau keadaan rakyat dan para pelajar Malaysia yang telah dipindahkan ke pusat-pusat pemindahan. Hasil tinjauan pasukan peninjau mendapati kesemua rakyat dan pelajar Malaysia di pusat-pusat pemindahan berada dalam keadaan baik dan menerima bekalan makanan dan minuman yang mencukupi.
Dato' Sri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak
Ini jelas membuktikan bahawa pihak berkuasa Jepun turut mengambil berat dan prihatin dengan keselamatan dan keadaan bukan sahaja rakyat Jepun malah warga negara asing termasuk Malaysia.
Dalam hal ini, saya ingin menyarankan Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian bersama-sama saya sepakat seia sekata menyampaikan rasa simpati dan ucapan takziah yang amat dalam kepada kerajaan dan rakyat Jepun atas bencana yang telah melanda mereka.
Tuan Yang di-Pertua, dengan ini saya mencadangkan mengikut Peraturan Mesyuarat 27(3), Dewan ini mengambil ketetapan-ketetapan seperti berikut:
BAHAWA, suatu kejadian gempa bumi bermagnitud 9.0 pada skala Richter dan tsunami telah melanda di perairan Honshu, Jepun pada jam 1.46 petang waktu Malaysia hari Jumaat, 11 Mac 2011, kira-kira 400km Timur Laut dari Tokyo dan pada masa kini masih berlakunya gegaran susulan; BAHAWA, gempa bumi dan tsunami itu telah mengakibatkan kehilangan nyawa yang banyak serta kemusnahan yang besar terhadap harta benda dan kerosakan infrastruktur terutamanya di Timur Laut Jepun di mana telah disifatkan oleh TYT Perdana Menteri Jepun, Naoto Kan sebagai “malapetaka terburuk sejak Perang Dunia Kedua” dan usaha-usaha menyelamat masih dijalankan; BAHAWA, kerajaan dan rakyat Malaysia menyampaikan simpati dan takziah yang mendalam kepada kerajaan dan rakyat Jepun serta kepada semua mangsa malapetaka ini termasuklah keluarga dan sahabat handai mereka; BAHAWA, masyarakat antarabangsa telah bangkit menawarkan bantuan kepada kerajaan dan rakyat Jepun bagi membantu usaha-usaha menyelamat yang sedang dijalankan; BAHAWA, rakyat Malaysia berkongsi kesedihan dan kesengsaraan yang dialami oleh mangsa malapetaka dan bencana ini; BAHAWA, disebabkan hubungan akrab yang sedia terjalin antara Malaysia dengan Jepun, rakyat Malaysia menghulurkan tawaran bantuan kemanusiaan untuk meringankan beban mangsa; BAHAWA, kerajaan dan rakyat Malaysia menilai tinggi penghargaan Kerajaan Jepun yang berhubung dengan bantuan kemanusiaan yang dicadangkan oleh Malaysia; dan BAHAWA, rakyat Malaysia melihat negara Jepun sebagai sebuah negara yang telah banyak membantu Malaysia mencapai kemajuan dan adalah patut rakyat negara ini menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Jepun.
Dato' Sri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak
DENGAN INI Dewan mengambil ketetapan seperti berikut:
(1) Melahirkan rasa takziah dan simpati yang sangat mendalam kepada Kerajaan Jepun dan semua mangsa atas tragedi bencana gempa bumi dan tsunami yang telah melanda Jepun pada 11 Mac 2011;
(2) Merakamkan penghargaan kepada kerajaan dan rakyat Jepun atas segala bantuan yang diberikan kepada rakyat Malaysia, terutamanya pelajar-pelajar Malaysia yang terjejas oleh malapetaka itu;
Dato' Sri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak
(3) Menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk memberikan sokongan dan bantuan dari segi material, emosi dan moral kepada mangsa-mangsa bencana dan malapetaka itu; dan
(4) Merayu masyarakat antarabangsa untuk terus menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Jepun.
Sehubungan itu saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Tuan Yang di- Pertua kerana membenarkan Dewan yang mulia ini untuk membahaskan bagi menyampaikan ucapan takziah dan simpati yang amat dalam kepada kerajaan dan rakyat Jepun, ke atas bencana gempa bumi dan tsunami di Timur Laut Jepun pada 11 Mac yang lalu. Apa yang berlaku ke atas negara Jepun dan rakyatnya adalah sesuatu yang amat menyedihkan seluruh rakyat Malaysia dan warga antarabangsa di seluruh pelosok dunia.
Dengan itu Malaysia sebagai salah sebuah negara yang mempunyai hubungan yang amat akrab dengan Jepun turut merasakan beban yang terpaksa ditanggung oleh mereka.
Namun, berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul. Adalah wajar kiranya Malaysia menawar dan menghulurkan apa juga bentuk bantuan yang termampu oleh negara kita.
Tuan Yang di-Pertua jelaslah apa yang sedang dilalui oleh kerajaan dan rakyat Jepun kini adalah satu penderitaan yang turut dirasai oleh masyarakat antarabangsa terutamanya negara-negara Asia. Jadi marilah kita bersama-sama berdoa agar kerajaan dan rakyat Jepun dilindungi daripada bencana gempa bumi dan tsunami serta semoga Jepun dapat membangunkan semula apa yang telah dibinasakan oleh bencana tersebut.
Tuan Yang di-Pertua saya mohon mencadangkan.
Timbalan Perdana Menteri - Tan Sri Dato' Haji Muhyiddin bin Mohd. Yassin
Tuan Yang di-Pertua saya berdiri untuk menyokong usul yang telah dibentangkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri sebentar tadi. Sesungguhnya usul tersebut telah memberikan gambaran yang sangat jelas tentang pendirian Malaysia yang mempunyai hubungan akrab dengan Jepun.
Sememangnya apa yang telah melanda Jepun sejak 11 Mac 2011 yang lalu adalah suatu yang sukar digambarkan. Namun keperitan dan penderitaan yang terpaksa ditanggung serta dilalui oleh kerajaan dan rakyat Jepun kesan daripada gempa bumi dan tsunami tersebut turut dirasai dan dikongsi oleh masyarakat antarabangsa terutamanya negara-negara Asia termasuklah Malaysia.
Tidak berakhir dengan bencana gempa bumi dan tsunami yang melanda kawasan pesisiran Pantai Timur Laut Jepun itu berlaku pula beberapa siri letupan loji reaktor nuklear di Fukushima sejak 12 Mac lalu yang telah menimbulkan kebimbangan orang ramai akan impak kebocoran bahan radio aktif. Menurut laporan pihak Kerajaan Jepun telah pun mengambil langkah-langkah cooling down dengan mengepam air laut ke dalam reaktor yang terjejas. Saya juga telah difahamkan bahawa pihak Kerajaan Jepun sedang berusaha memantau dan cuba menanganinya secara terkawal dan arahan evakuasi yang melibatkan penduduk yang tinggal dalam lingkungan 20 kilometer serta nasihat bagi penduduk yang bermastautin dalam lingkungan 20 kilometer hingga 30 kilometer radias dari stesen jana kuasa tersebut agar tidak meninggalkan kediaman masing-masing, adalah sebagai tindakan berjaga-jaga dan bukan atas sebab keselamatan yang mendesak.
Saya pasti pihak Kerajaan Jepun sudah pun berusaha sebaik mungkin untuk menangani insiden letupan tersebut daripada menyebabkan implikasi yang lebih teruk berlaku.
Sehubungan dengan itu saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menyeru rakyat Malaysia supaya bertenang dan tidak mempercayai khidmat pesanan ringkas ataupun SMS yang kononnya mengatakan Malaysia juga terdedah kepada bahaya kesan kebocoran radiasi akibat letupan loji reaktor nuklear tersebut. Saya juga ingin menyeru rakyat Malaysia agar tidak mudah untuk mempercayai khabar-khabar angin mengenai kejadian yang telah berlaku di Jepun ini kerana maklumat sebenar dan terkini boleh diperolehi melalui sumber-sumber rasmi Kerajaan Malaysia dan Jepun.
Timbalan Perdana Menteri - Tan Sri Dato' Haji Muhyiddin bin Mohd. Yassin
Tuan Yang di-Pertua saya amat bersyukur apabila diberitahu bahawa kesemua rakyat dan pelajar Malaysia yang telah pun berdaftar dengan Kedutaan Besar Malaysia di Tokyo berada dalam keadaan yang selamat. Walaupun terdapat beberapa kesulitan terutamanya kekurangan bekalan elektrik, saya juga ingin mengajak semua rakyat Malaysia untuk terus mendoakan kesejahteraan dan keselamatan rakyat dan pelajar Malaysia yang berada di jepun, terutamanya di kawasan yang paling teruk di landa bencana dan malapetaka tersebut seperti Miyagi, Fukushima, Ibarakhi, Tochigi, Wako, Saitama dan juga Chiba.
Saya juga dimaklumkan bahawa pihak berkuasa Jepun telah memberikan bantuan yang sewajarnya kepada bukan sahaja rakyat Jepun malah kepada semua warga asing yang telah pun ditempatkan di pusat-pusat evakuasi yang telah pun disediakan oleh pihak berkuasa Jepun. Oleh itu saya berharap rakyat Malaysia dapat bertenang dan Kerajaan Malaysia akan terus serta sentiasa memantau keadaan rakyat dan pelajar Malaysia di Jepun dan bersedia untuk menghulurkan bantuan kepada mereka.
Tuan Yang di-Pertua mungkin kita sebagai rakyat Malaysia tidak dapat memahami serta mendalami sepenuhnya penderitaan dan keperitan yang sedang dilalui oleh rakyat Jepun. Ini kerana negara kita bebas daripada bencana gempa bumi dan tsunami yang boleh menghancur dan menyebabkan kerosakan besar. Namun saya percaya sokongan moral dan emosi rakyat Malaysia akan mampu memberikan semangat dan kekuatan kepada rakyat Jepun untuk meneruskan kehidupan seharian dan membina semula masa depan mereka. Saya yakin bahawasanya walaupun negara Jepun terus merasai gegaran susulan dan dilanda bencana serta malapetaka yang telah meragut banyak nyawa, memusnahkan harta benda dan infrastruktur sejak Jumaat yang lalu, rakyat Jepun akan terus cekal dan bersemangat tinggi untuk bangkit semula membina negara mereka.
Saya juga ingin menyeru rakyat Malaysia agar sentiasa bersyukur kerana terpelihara daripada sebarang bencana alam ataupun malapetaka yang boleh memberikan impak negatif yang tersangat besar kepada negara mahupun rakyat Malaysia sendiri.
Tuan Yang di-Pertua seperti yang telah pun disampaikan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri sebentar tadi, Jepun telah pun banyak memberikan sumbangan dan membantu Malaysia membangunkan negara sejak dahulu lagi. Maka memang wajarlah untuk kita sebagai rakyat Malaysia yang prihatin dengan isu-isu kemanusiaan dan kesejahteraan sejagat menghulurkan bantuan ketika Jepun dilanda kesusahan. Akibat daripada bencana dan malapetaka yang sedang menimpa mereka.
Jepun sememangnya terkenal sebagai salah sebuah negara yang sentiasa bersedia menghulurkan bantuan kepada mana-mana negara yang memerlukan selama ini.
Kini tiba pula masanya kita sebagai rakyat Malaysia untuk menghulurkan bantuan kepada kerajaan dan rakyat Jepun. Bantuan yang tidak seberapa itu diharap dapat sedikit sebanyak meringankan bebanan yang sedang pun ditanggung oleh kerajaan dan rakyat Jepun. Maka dengan itu saya ingin menyeru pada Ahli-ahli Yang Berhormat masing-masing bersama- sama Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dan saya menyampaikan rasa simpati dan ucapan takziah yang mendalam kepada kerajaan dan rakyat Jepun. Serta bersedia untuk memberikan bantuan kemanusiaan agar kerajaan rakyat Jepun dapat bangun semula membina negara mereka. Tuan Yang di-Pertua saya mohon menyokong.
Tuan Yang di-Pertua
Ahli-ahli Yang Berhormat masalah sekarang ini terbuka untuk dibahas dan sebelum saya memanggil pembahas-pembahas, suka saya nyatakan di sini bahawa saya telah menerima nama-nama pembahas daripada pihak kerajaan dan daripada Pakatan Rakyat, iaitu tiga daripada Barisan Nasional iaitu Yang Berhormat Segamat, Yang Berhormat Simpang Renggam dan Yang Berhormat Batang Sadong.
Daripada Pakatan Rakyat Yang Berhormat Kepong, Yang Berhormat Kubang Kerian dan Yang Berhormat Batu. Memandangkan kita tidak begitu banyak masa oleh kerana saya ingin Menteri Luar untuk menggulung perbahasan pada jam 2.30 petang, saya hadkan masa kepada setiap bahas 10 minit dan ada tiga nama lagi ingin untuk berbahas iaitu daripada kumpulan BEBAS, Yang Berhormat Bayan Baru, Yang Berhormat Pasir Mas dan juga Yang Berhormat Tawau. Jadi kalau Yang Berhormat itu boleh berbahas tidak lebih daripada 10 minit, insya-Allah saya akan dapat melayan semua kehendak. Sila Yang Berhormat Kepong.
Dr. Tan Seng Giaw - Kepong
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Kita di sini menyokong usul yang dibentang oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri tadi. Kita menyampaikan takziah dan simpati kepada rakyat Jepun - kerajaan dan rakyat Jepun terutamanya mangsa gempa bumi dan tsunami.
Di sini saya hendak menekankan bahawa, sedang kita melihat apa yang terjadi di Jepun kita mesti adakan satu laporan yang lengkap mengenai cadangan dua loji kuasa di Malaysia, yang dikehendaki melalui penelitian yang rapi agar rakyat Malaysia dapat mentafahusnya dengan lebih teliti sampai kita buat keputusan yang tepat, persis dan jitu untuk kepentingan rakyat di Malaysia.
Di sini saya berharap bantuan daripada Malaysia kepada Jepun dapat dihantar dan juga termasuk pasukan penyelamat. Sebentar tadi Yang Amat Berhormat tidak sebutkan mengenai pasukan penyelamat. Kita perlu menghantar pasukan kita. Saya nampak di Jepun sekarang ada pasukan daripada China, ada Amerika Syarikat dan United Kingdom dan lain-lain yang bekerjasama, yang bekerjasama.
Boleh Yang Amat Berhormat - saya berharap Yang Amat Berhormat dapat mengambil perhatian supaya kita dapat menghantarnya. Di sini sebelum saya... Saya ada sembilan minit lagi. Sebelum saya sentuh hal ini, saya hendak bangkit satu perkara iaitu mengenai rare earth. Rare earth itu radioaktif walaupun ia perlahan akan tetapi ia radioaktif juga. Saya masih ingat pada tahun 80-an, 90-an terdapat satu Asian Rare Earth di Bukit Merah, di Pusing, Perak. Oleh kerana bantahan yang berterusan itu, kilang itu ditutup akhirnya. Akan tetapi pada akhir ini ada syor untuk mengadakan satu kilang rare earth di Kuantan pula. Kilang ini akan memproses rare earth and thorium dari Australia. Saya berharaplah pihak kerajaan pusat dapat mengambil pusing mengenai apakah implikasi kilang thorium di Kuantan ini.
Seterusnya, mengenai bencana gempa bumi dan tsunami yang melibatkan empat loji kuasa nuklear di Fukushima, Daiichi. Bencana ini ada lebih dahsyat daripada bencana di Three Mile Island, Amerika Syarikat. Saya berharap tidak akan meningkat kepada satu malapetaka seperti yang berlaku di Chernobyl, Ukraine. Di sini memang rakyat Malaysia memang bimbang, seperti yang disebutkan oleh Yang Amat Berhormat Timbalan Perdana Menteri tadi kerana kita dapat SMS dan sebagainya yang mengatakan itu radioaktif itu sudah sampai ke Malaysia dan sebagainya.
Saya nampak ada beberapa negara yang sedang melihat bencana di Jepun ini termasuk China, Taiwan, India, Jerman, Switzerland dan Thailand. Negara-negara ini mempunyai loji kuasa nuklear sendiri dan sedang membina loji kuasa yang baru. Di sini saya berharaplah Kerajaan Pusat dapat bersama-sama menyaksikan apa sahaja implikasi dan konsekuensi loji nuklear yang berlaku di Jepun tadi. Di sini saya diberitahu bahawa di Jepun, syarikat Tokyo Electric Power yang menguruskan keempat-empat loji kuasa di Fukushima ini tidak memberi data yang betul. Dari tahun 2002 lagi mengeluarkan data yang palsu. Saya berharap ini tidak akan berlaku di negara ini.
Menurut sistem Pemonitoran Radiologi Alam Sekitar (ERMS) di Malaysia, paras sinaran di Malaysia disebutkan sebagai 0.17 microsievert. Sekarang kita semua biasa dengan microsievert atau millirem. Microsievert... 0.17 microsievert. Had pendedahan sinaran orang awam 0.5 microsievert sejam. Ini memang tidak bahaya kerana kalau tidak lebih daripada 620 millirem atau 6,200 millisievert setahun boleh ditahan. Ia tidak akan menjejaskan badan kita kerana radiasi ini memang merosakkan apa yang terjadi di dalam sel-sel kita, sehingga boleh timbul banyak perkara termasuk maut dengan cepat. Kalau lebih daripada 6 gray juga, kalau lebih sedikit radiasinya boleh menyebabkan kanser.
Di sini saya hendak mendekatkan walaupun Yang Amat Berhormat sebutkan ada tujuh kawasan di mana ada terdapat 9,000 rakyat Malaysia dan saya berharap mereka diberi perlindungan yang cukup dan diberi bantuan supaya mereka dapat diselamatkan. Di sini sebelum saya mengakhiri ucapan saya, tepat 10 minit sekarang ya. Berapa minit?
Tuan Yang di-Pertua
Kalau kurang daripada 10 minit lebih elok Kepong...
[Dewan riuh]
Dr. Tan Seng Giaw - Kepong
Ada lebih kurang, ya. Di sini saya hendak menekankan, saya hendak menyaksikan agensi-agensi kita tidak melakukan seperti yang dilakukan oleh Tokyo Electric Power memberi data yang palsu. Ini termasuklah Sistem Pemonitoran Radiologi Alam Sekitar, Kementerian Tenaga dan Alam Sekitar, Jabatan Meteorologi Malaysia, Lembaga Tenaga Atom dan Agensi Nuklear Malaysia. Semua agensi ini mesti memberi data yang tepat, persis dan jitu supaya rakyat Malaysia dapat bersama- sama melihat dan menyaksikan apa yang akan dilakukan oleh pihak Kerajaan Malaysia mengenai dua loji nuklear yang akan dibina di Malaysia ini. Sekian, terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua
Yang Berhormat Segamat.
Menteri Sumber Manusia - Datuk Dr. S. Subramaniam
Tuan Yang di-Pertua, saya berdiri untuk memberi sokongan kepada usul yang telah dicadangkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri kita tentang kejadian gempa bumi bermagnitud 9.0 skala Richter yang telah melanda negara Jepun pada hari Jumaat, 11 Mac yang lalu. Gempa bumi yang melanda Jepun baru-baru ini merupakan krisis terburuk di Jepun sejak Perang Dunia Kedua. Walaupun angka korban yang dikeluarkan secara rasmi menunjukkan lebih daripada 3,000 orang terkorban, namun dikhuatiri lebih daripada 11,000 orang terkorban dalam gempa bumi ini. Gempa bumi yang melanda timur laut Jepun bukan sahaja meragut nyawa dan harta benda, malahan meninggalkan kesan kemusnahan besar termasuk ancaman radiasi di bahagian utara negara itu berikutan letupan di reaktornya. Selain itu Jepun juga mungkin menyaksikan peralihan paksi bumi kira-kira 25 sentimeter.
Menteri Sumber Manusia - Datuk Dr. S. Subramaniam
Gempa bumi yang kuat berukuran 9 skala Richter ini merupakan kelima terkuat di dunia menyebabkan kedudukan Pulau Honshu yang merupakan pulau utama Jepun berganjak sehingga 2.4 meter. Agensi pengurusan kebakaran dan bencana Jepun berkata, jumlah bangunan yang musnah sepenuh atau sebahagiannya mencecah lebih daripada 73,000.
Krisis nuklear Jepun semakin meruncing apabila satu lagi letupan hidrogen berlaku ke atas sebuah reaktor ketiga di Fukushima Daiichi yang mengeluarkan radiasi ke udara sehingga merebak ke bandar Tokyo kira-kira 170,000 kilometer di selatan loji yang lumpuh akibat gempa bumi minggu yang lalu. Letupan di loji nuklear Fukushima Daiichi adalah yang ketiga dalam empat hari dan menjadikan krisis ini terburuk sejak bencana di reaktor nuklear Chernobyl, Ukraine pada 1986. Memandangkan krisis gempa bumi dan risiko letupan loji meninggalkan impak yang begitu mendalam kepada kehidupan dan masa depan masyarakat Jepun, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri telah bercadang menghantar Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) yang disertai doktor dan pegawai keselamatan ke Jepun untuk memberikan sokongan dan bantuan. Pada masa sekarang, kita menunggu persetujuan daripada pihak negara Jepun.
Namun demikian, pasukan penyelamat dari beberapa negara mula menyertai usaha mencari mangsa gempa bumi dan tsunami yang terselamat dalam usaha antarabangsa membantu Jepun menghadapi bencana alam ini. Di negara kita, tabung bencana yang telah ditubuhkan oleh beberapa pihak termasuk wanita Barisan Nasional dan beberapa media massa. Pada masa yang sama juga, media massa melalui online mekanisme telah memberikan bantuan untuk mencari mereka yang hilang dan ini ialah satu cara yang mana teknologi baru digunakan untuk menghadapi krisis.
Pada masa ini yang paling sedih untuk rakyat di negeri Jepun, kita rakyat Malaysia berdoa untuk memberi kekuatan kepada rakyat Jepun dan pemimpin mereka untuk mengatasi segala penderitaan yang dihadapi mereka pada masa ini. Rakyat Malaysia sedang mengikuti segala perkembangan di dalam hal ini melalui televisyen dan secara jelas apa yang kita lihat tentang kehilangan ahli keluarga dan saudara-mara oleh rakyat Jepun, kehilangan rumah dan tempat tinggal dan kesukaran yang dihadapi kerana kekurangan bekalan-bekalan asas seperti air, elektrik, pengangkutan dan sebagainya.
Menteri Sumber Manusia - Datuk Dr. S. Subramaniam
Dan juga pada masa yang akan datang, mungkin kekurangan bekalan makanan pun dan pendedahan risiko untuk penyebaran penyakit-penyakit yang berjangkit. Pada masa sekarang, satu risiko paling besar iaitu risiko radiasi yang telah menjadi lebih teruk pada hari ke hari.
Saya memberikan sokongan yang penuh pada keputusan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri untuk membantu dan menyokong melalui pelbagai cara pada negara Jepun melalui SMART team dan bantuan lain-lain dan untuk menghulurkan bantuan kepada rakyat di negara Jepun melalui tabung-tabung yang telah disediakan. Negara-negara yang lain mendapat pengajaran yang besar daripada apa yang telah berlaku di negara Jepun kerana negara Jepun ialah sebuah negara yang mempunyai teknologi yang begitu tinggi dan bangunan-bangunan mereka telah dibina dengan mengambil kira risiko gempa bumi yang selalu berlaku di dalam negara mereka dan mereka mempunyai sistem-sistem early tsunamy warning dan telah mengambil beberapa langkah untuk memastikan reaktor mereka boleh menghadapi pelbagai jenis ancaman. Walaupun negara itu mempunyai pelbagai jenis persediaan sedemikian tetapi kerana satu gempa bumi yang begitu kuat, segala persediaan yang sedia ada tidak membantu mereka untuk mengurangkan kerosakan yang telah dihadapi oleh rakyat.
Oleh itu, pada hari ini Tuan Yang di-Pertua, seperti yang telah diterangkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri tadi bahawa ini ialah malapetaka yang terburuk sejak Perang Dunia Kedua dan saya sokong langkah-langkah yang telah diambil oleh Kerajaan Malaysia untuk membantu rakyat Jepun. Kita menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk memberikan sokongan dan bantuan daripada segi material, emosi dan moral kepada mangsa-mangsa bencana dan malapetaka itu dan merayu masyarakat antarabangsa untuk terus menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Jepun. Dengan itu, saya sekali lagi melahirkan rasa takziah dan simpati yang sangat mendalam kepada kerajaan negara Jepun dan semua mangsa atas tragedi yang telah berlaku dan kita bersama berdoa supaya mereka boleh mengatasinya. Sekianlah sahaja. Terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua
Yang Berhormat Kubang Kerian.
Tuan Salahuddin Haji Ayub - Kubang Kerian
Assalamualaikum warahmatullaahi wabarakaatuh dan salam sejahtera. Tuan Yang di-Pertua, Allah SWT berfirman dalam satu ayat, [Membaca petikan ayat Al-Quran] yang bermaksud, “Mereka yang apabila ditimpakan musibah, mereka mengatakan dari Allah SWT kami datang dan kepada Allah SWT lah kami akan dikembalikan”.
Tuan Yang di-Pertua, mengambil iktibar daripada apa yang berlaku dan firman Allah SWT yang saya baca sebentar tadi, ia membuktikan bahawa manusia tidak mempunyai kuasa apa-apa walaupun kita memiliki teknologi dan kecanggihan peralatan dalam dunia ini tetapi semuanya adalah dalam lingkaran dan penguasaan ilmu dan kuasa Allah SWT. Saya mewakili Parti Islam Se-Malaysia (PAS) juga memberikan rasa terharu, salam simpati dan merakamkan takziah bagi pihak PAS kepada kerajaan dan rakyat Jepun yang dilanda dengan malapetaka ini yang menyaksikan satu kemusnahan yang mungkin sama dengan apa yang berlalu ke atas Hiroshima dan Nagasaki apabila bom atom dilemparkan pada 16 Ogos tahun 1945 yang menyaksikan 140,000 mereka yang terkorban.
Daripada apa yang berlaku ini, kita memahami bahawa Jepun ialah negara yang terletak dalam lingkaran api yang pastinya akan terdedah sebagaimana negara-negara yang lain dan juga kita agak tidak terlewat untuk Parlimen juga menyatakan takziah kepada rakyat di New Zealand, di Christchurch yang juga dilanda dengan musibah pada awal bulan ini.
Tuan Yang di-Pertua, apa yang kita pelajari daripada kemusnahan ini ialah kita harus melihat Jepun selepas era ataupun post Second World War telah menyaksikan pembangunan masyarakat dan rakyat yang berjaya diacukan dalam budaya dan juga tatasusila yang amat mengagumkan. Ini ialah merupakan satu pelajaran yang harus kita belajar. Kita Malaysia ialah sebuah negara yang majoritinya umat Islam dan umat yang lainnya yang merupakan masyarakat majmuk yang harusnya boleh menjadi contoh yang baik, yang akan diteladani oleh masyarakat dunia satu hari nanti.
Tuan Salahuddin Haji Ayub - Kubang Kerian
Jadi bagaimana kita menghadapi dan mampu untuk mengurus tadbir bukan sekadar ekonomi yang baik, politik yang stabil tetapi juga moral, hati budi dan juga akhlak dalam kita menghadapi apa jua suasana.
Saya merujuk pada satu artikel yang ditulis oleh profesor daripada Harvard, Professor Joseph S. Nye dalam beliau memberikan ulasan tentang isu ini, beliau mengatakan dengan izin, ”The disaster may turn out to benefit Japan’s ‘soft power’”’. Inilah yang mereka peroleh. Dalam keadaan yang begitu gamat, malapetaka dan tsunami yang datang silih-berganti, mereka menyaksikan dan kita menyaksikan bagaimana penghormatan yang diperoleh dari sikap masyarakat yang tenang, penyerahan diri mereka kepada apa yang berlaku, hati budi mereka, akhlak mereka, wibawa mereka, hati budi dan integriti mereka dalam mereka menghadapi suasana yang begitu kritikal. Ini ialah merupakan satu contoh yang saya rasa kita juga amat berpengalaman pergi ke negara- negara lain dalam kita menghadapi suasana yang seperti ini, tidak wujud hiruk-pikuk, tidak wujud perebutan dalam mengambil makanan. Mereka harus melihat keteraturan masyarakat ini dalam menghadapi risiko ini.
Tuan Salahuddin Haji Ayub - Kubang Kerian
Ini harus kita pelajari dan harus kita jadikan sebagai ikutan kita. Semua norma itu terkandung dalam ajaran Islam yang mulia kalau kita boleh praktik dalam budaya yang kita teraskan dalam masyarakat kita yang ada pada hari ini. Demikian juga Profesor Joseph menyambung dengan izin, “In addition to the sympathy, it shows a stable, well-mannered society that was as prepared for such a disaster as any modern country could be, and which is responding in a calm and orderly way.” Inilah merupakan satu perkara yang harus kita amati dan harus kita pelajari dalam apa pun keadaan yang dialami.
Dalam konteks ini juga, dalam urutan itu terdapat isu rektor nuklear yang dialami oleh Jepun dan saya rasa kita jangan membuat satu ucapan ataupun andaian ataupun midget responds yang saya rasa tidak perlu dibuat pada masa ini. Nuklear harus dipandang dari aspek yang positif. Nuklear sama juga seperti dadah dan kuasa. Kalau berlaku penyalahgunaan, kalau berlaku salah guna, ia akan berbahaya kepada masyarakat dunia.
Akan tetapi kalau ia diurus dengan baik, ia berlaku kerana gempa bumi pada 8 skala Richter. Ini berlaku di Chernobyl dan berlaku di Three Mile Island yang pernah berlaku.
Jadi saya rasa dalam aspek ini, kita perlu melihat kuasa nuklear dalam konteks yang positif. Satu hari esok ia akan menjadi kuasa alternatif yang kita perlukan kalau kita kehabisan bahan fosil sebagai bahan kuasa dalam dunia yang ada pada hari ini. Jadi untuk itu, saya merasakan kita harus melihat semua ini dalam rangka pemikiran yang lebih luas, as a big picture supaya kita melihat apa juga yang berlaku ini kita ambil pengajaran yang sebanyak-banyaknya dan kita mengukur akan segala risiko untuk kita jadikan sempadan dalam kita mempertaruhkan apa juga program dalam negara kita.
Dalam bantuan yang harus kita berikan, saya juga tidak tahu setakat ini adakah SMART team kita diizinkan untuk pergi atau tidak tetapi sekiranya ia diperlukan, kami juga ada pasukan unit amal yang kami boleh pertaruhkan juga sebagai membantu kerajaan untuk kita membantu masyarakat ini di mana-mana sahaja. Kita berpengalaman di Pakistan, kita berpengalaman di Bangladesh, kita berpengalaman dalam kejadian tsunami di Aceh dan kita juga boleh memberikan simpati kita dalam kita menghadapi suasana yang seperti ini. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Tuan Yang di-Pertua
Terima kasih. Yang Berhormat Simpang Renggam.
Tuan Liang Teck Meng - Simpang Renggam
Tuan Yang di-Pertua, saya berdiri di sini juga untuk menyokong usul yang dibawa oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri sebentar tadi. Terlebih dahulu, saya ingin memohon keizinan daripada Tuan Yang di-Pertua untuk menyampaikan sepatah dua kata ucapan takziah saya dalam bahasa Jepun.
Tuan Yang di-Pertua
Sila Yang Berhormat.
Tuan Liang Teck Meng - Simpang Renggam
Dengan izin... [Bercakap dalam bahasa Jepun] [Tepuk] Tuan Yang di-Pertua, saya dapat merasakan keperitan, kesengsaraan mangsa bencana alam di Jepun kerana saya adalah salah seorang penuntut di Universiti Tohoku di kawasan Sendai, Jepun selama empat tahun. Rasa kegelisahan tersebut membuatkan saya menghubungi rakan-rakan saya di Sendai untuk mengetahui keadaan mereka ternyata hampa. Kesedihan dan kegelisahan yang ada pada saya adalah sama seperti rakyat Jepun rasakan. Saya ingin menyampaikan ucapan takziah dan simpati kepada kerajaan dan semua rakyat negara Jepun yang mengalami musibah bencana alam gempa bumi dan tsunami yang paling teruk melanda negara Jepun pada 11 Mac 2011 yang lalu.
Walau bagaimanapun, saya juga mengucapkan penghargaan kepada kerajaan dan rakyat Jepun atas segala bantuan yang diberikan dalam usaha dan misi menyelamatkan rakyat Malaysia terutamanya pelajar-pelajar Malaysia seramai 242 orang yang terlibat di sekitar kawasan kejadian tersebut. Bencana alam kali ini sememangnya merupakan suatu tragedi yang amat menyakitkan bagi seluruh rakyat Jepun khasnya dan seluruh masyarakat dunia amnya. Saya berharap dengan daya kekuatan bangsa yang tersendiri serta sikap kesungguhan dan kegigihan yang sedia ada, rakyat Jepun akan dapat kembali pulih dengan secepatnya.
Perhubungan diplomatik antara kerajaan negara Jepun dengan kerajaan negara kita serta perhubungan sosial di kalangan rakyat di antara kedua-dua negara memang terjalin begitu rapat. Negara Jepun juga sentiasa membantu negara dan rakyat kita dalam mencapai kemajuan dari segi teknologi, pendidikan dan ekonomi selama ini. Kita memang terhutang budi kepada mereka yang perlu membantu kepada kita dan sekarang sampailah masanya kita membalas budi kepada mereka yang sedang dalam keadaan kesusahan.
Saya menyeru kepada semua rakyat Malaysia untuk menghulurkan segala bantuan dari segi material, emosi dan moral yang ikhlas untuk membantu negara Jepun dan rakyatnya supaya dapat meringankan kesusahan dan penderitaan yang dihadapi oleh mereka. Tidak lupa juga, di sini saya menyeru kepada masyarakat antarabangsa supaya terus menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Jepun dan sama-sama kita berganding bahu merintangi segala cabaran pada masa akan datang untuk perpaduan sejagat dan kehidupan yang lebih harmoni di seluruh dunia. Sekian, terima kasih... [Tepuk]
Tuan Yang di-Pertua
Terima kasih. Yang Berhormat Batu.
Tuan Chua Chang - Batu
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Bagi pihak rakan- rakan saya dari Parti Keadilan Rakyat dan juga Ketua Pembangkang yang tidak bersama dengan kita, saya juga turut ingin menyampaikan takziah kepada rakyat Jepun khususnya kepada keluarga-keluarga Jepun yang telah hilang anggotanya dalam gempa bumi pada 11 Mac 2011. Pada masa yang sama, kita juga mengambil kesempatan ini untuk menyampaikan simpati dan takziah kepada rakyat New Zealand yang telah terkorban sebelum ini dalam gempa bumi di Christchurch.
Jepun telah menghadapi tiga bencana tragik berturut-turutan. Bukan sahaja gempa bumi dan tsunami tetapi kini menghadapi keadaan reaktor nuklear yang mengancam keselamatan dan kesihatan rakyatnya. Di sini kita ingin sampaikan sokongan kita kepada Perdana Menteri Jepun yang telah memikul tanggungjawab yang berat dalam mengatasi keadaan yang serius ini.
Tuan Chua Chang - Batu
Saya dan juga pihak-pihak pembangkang di dalam perbahasan ini, kita ingin mengesyorkan kepada rakyat Jepun dan Kerajaan Jepun bahawa di Malaysia, tidak kira latar belakang politik, kaum dan agama, kita bersama-sama menyampaikan solidarity kita kepada rakyat negara Jepun kerana malapetaka ini juga adalah ujian sikap kemanusiaan dan perikemanusiaan sejagat.
Tuan Chua Chang - Batu
Kami juga ingin menyampaikan penghargaan kita kepada penyelamat-penyelamat termasuk askar, sukarelawan yang telah bertungkus-lumus mengorbankan diri dan membelakangkan keselamatan diri untuk melakukan kerja-kerja keselamatan, mereka adalah golongan yang di mana-mana pun ketika bencana alam dan malapetaka, golongan inilah yang mempertahankan sikap perikemanusiaan sejagat.
Dalam siri bencana alam yang kita hadapi sejak kebelakangan ini, mengingatkan manusia supaya kita sentiasa harus bertawaduk terhadap keadaan bumi kita. Sebagai khalifah di bumi ini, manusia sentiasa harus menjaga bukan sahaja keselamatan manusia tetapi kesejahteraan bumi. Kita juga sentiasa harus mengakui kelemahan diri, kelemahan ciptaan kita sentiasa ada kecacatan. Tidak ada apa-apa yang dicipta oleh manusia boleh setanding atau mengatasi kuasa alam semula jadi atau ciptaan tuhan. Kita juga sangat kagum menyaksikan integriti dan keteguhan masyarakat jepun dalam malapetaka, mereka telah menunjukkan sebagai satu bangsa yang tetap bertatatertib dalam keadaan chaos, dalam keadaan bencana.
Inilah petunjuk nilai-nilai budaya dan kemasyarakatan yang harus kita contohi.
Dengan itu saya juga ingin menyampaikan rasa kesal di atas bencana yang dihadapi oleh masyarakat negara Jepun kerana masih ada sesetengah pihak mempersendakan keadaan ini. Saya tidak menganggap mereka melakukan dengan sengaja, tetapi ini menunjukkan masyarakat kita kurang sensitif, kurang perikemanusiaan di dalam keadaan ini. Perkara ini kita tidak ungkit untuk menjadi modal politik, tetapi kita harus sentiasa ingat agar mendidik masyarakat kita supaya berasa sensitif.
Pengajaran kepada kita di dalam bencana ini bukan isu Jepun tidak menyusun masyarakat dengan baik dan tidak memilih teknologi yang betul atau ini disebabkan mereka tidak menggunakan teknologi hijau dan lain-lain lagi. Ini bukan isunya, masyarakat Jepun sudah lama bersiap sedia untuk menghadapi bencana. Tahun ‘1952’, warning system dalam enam region telah dibina, 300 sensor. Mereka mempunyai undang-undang yang ketat untuk menjaga pembangunan untuk setiap jalan raya, highway dan bangunan- bangunan di Jepun telah diambil kira untuk menghadapi bencana alam seperti gempa bumi dan tsunami. Walaupun begitu, ia tidak dapat mengelakkan bencana alam daripada berlaku. Namun dari segi masyarakat, kita sentiasa boleh menunjukkan sokongan kita dan juga menunjukkan satu masyarakat yang dianggap sebagai masyarakat yang dapat bekerjasama, ini mengatasi penderitaan dan cabaran alam semula jadi.
Di sini bukan tempat untuk kita ingin membahaskan tentang baik buruknya penggunaan tenaga nuklear, saya mempunyai pendirian sendiri tetapi saya anggap ini tidak sesuai bagi kita untuk membahaskan isu nuklear. Kita ingin mengingatkan, saya menganggap pemimpin negara kita, walaupun saya bukan dari pihak kerajaan bahawa pemimpin kita dahulu juga mempunyai pandangan yang jauh. Dahulu kita pernah menunjukkan bahawa kita mengamalkan Dasar Pandang Ke Timur, bagi saya dasar ini mempunyai makna yang baru. Dasar Pandang Ke Timur bukan sahaja kita mempelajari teknologi Jepun kerana teknologi Jepun juga mempunyai kecacatan, tetapi Dasar Pandang Ke Timur adalah masa untuk kita mencontohi semangat kerjasama masyarakat Jepun sewaktu keadaan bencana alam. Kita harus meneruskan, jangan setiap kali ada Perdana Menteri yang baru, dasar kita akan bertukar. Kita tidak lagi ingat bahawa dasar-dasar yang mempunyai nilai untuk jangka masa panjang, long term effect kita harus diteruskan.
Bagi GTP, Government Transformation Plan, saya ingin mengingatkan semula di dalam Dasar Pandang Ke Timur ini, kita lihat semula Konsep Kaizen, Quality Control yang telah berada di dalam sistem pemerintahan Jepun yang membolehkan mereka menghadapi bencana ini dengan tenang, tertib agar masyarakat tidak jatuh ke dalam menjadi chaos.
Dengan ini saya juga ingin mencadangkan kita bermula dengan keprihatinan kepada rakyat kita untuk transparent dan terbuka tentang apa risiko yang kita akan hadapi. Dengan mulanya kita harus memberi bacaan radioaktif yang tepat khususnya di kawasan Sabah di mana data-data harus diberitahu kepada rakyat agar kita sedar dan mengambil keputusan sendiri bagaimana kita menghadapi risiko ini.
Tuan Chua Chang - Batu
Dengan ini Tuan Yang di-Pertua, saya ingin sekali lagi menegaskan bahawa di dalam keadaan sekarang, rakyat Malaysia dan semua masyarakat dunia bahawa inilah masanya kita sebagai bangsa yang bersatu menyampaikan pendirian kita yang tegas dan juga turut bersama-sama untuk bertafakur dengan rakyat negara Jepun dan semua mangsa korban akibat bencana alam, gempa bumi pada masa terdekat ini. Dengan itu, saya mohon menyokong. Terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua
Terima kasih Yang Berhormat, silakan Yang Berhormat Bantang Sadong.
Puan Hajah Nancy Shukri - Batang Sadong
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, berdirinya saya di sini untuk menyokong usul yang dicadangkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri tadi. Saya bagi pihak Kerajaan Negeri Sarawak dan rakan-rakan kokus Parlimen Malaysia turut mengucapkan takziah dan rasa simpati kami terhadap negara Jepun yang dilanda bencana yang sungguh menggerunkan. Begitu juga jika kita perhatikan negara Jepun sentiasa menabur budi kepada banyak Negara Dunia Ketiga, negara yang belum membangun dan negara-negara yang sedang membangun dan begitu juga termasuk negara Malaysia yang telah mendapat bantuan daripada negara Jepun, dengan itu kita mengucapkan terima kasih kepada negara Jepun yang selama ini menabur budi kepada kita semua.
Selepas satu bencana ke satu bencana yang menimpa negara Jepun, daripada bencana gempa bumi dan tsunami dan didatangi pula bencana daripada reaktor radiasi.
Kemudian baru-baru ini ditambahkan lagi dengan masalah mereka menghadapi cuaca sejuk bersalji yang menyukarkan lagi keadaan pasukan penyelamat. Sinilah amat berfaedahnya kemudahan IT, di mana Facebook dan Twiitter yang memainkan peranan yang begitu penting sekali kerana boleh membantu memberi maklumat terkini kepada dunia luar tentang apa yang berlaku di Jepun. Malah ia membantu mengesan ahli keluarga yang tinggal di kawasan berhampiran. Begitulah kita memanfaatkan faedah yang diberikan oleh kerajaan melalui IT ini. Apa yang kita pelajari juga daripada keadaan negara yang begitu high-tech, dengan izin, ialah dari segi perancangan negara kita daripada merancang pembangunan, itulah cara kita menggunakan panduan apa yang berlaku daripada negara Jepun dan begitulah kita juga mencari jalan terbaik jika kita merancang pembangunan untuk negara kita.
Puan Hajah Nancy Shukri - Batang Sadong
Di sini saya ingin mendapat maklum juga dari kerajaan, siapakah yang bertanggungjawab untuk memaklumkan kepada rakyat Malaysia yang cepat panik apabila mendapat maklumat mengenai kejadian tersebut, terutama sekali mereka yang tinggal di kawasan persisiran. Adakah agensi kerajaan yang mempunyai standard operating procedure untuk memaklumkan kepada rakyat sekiranya berlaku malapetaka seperti tsunami ini. Janganlah kita biarkan mereka menggunakan SMS yang mungkin tidak mempunyai authority yang sah untuk memberi maklumat kepada rakyat Malaysia ini.
Tuan Yang di-Pertua, saya amat memuji sikap negara Jepun menangani keadaan yang begitu tragis ini. Dalam keadaan yang begitu menyedihkan pihak pentadbirannya tersusun atur. Saya saksikan di televisyen cara mereka memberi peluang kepada warganya yang menghadapi masalah ini untuk menghubungi keluarga dan sahabat handai mereka yang tidak mengetahui tentang sama ada mereka dalam keadaan selamat atau tidak. Jadi, mereka mempunyai cara yang begitu baik dan teratur sekali. Saya juga berkesempatan menyaksikan bagaimana sekumpulan wanita memberi kerjasama kepada rakan masing- masing dengan memberi kata-kata perangsang kepada rakan mereka dan menyusun atur cara mereka membahagi makanan.
Apa yang menjadi pelajaran kepada kita semua di Malaysia ini Tuan Yang di- Pertua, ialah kita hendaklah sentiasa mengingati satu sama lain supaya kita sentiasa hidup bersatu padu aman dan makmur. Perlukah kita menghadapi bencana untuk kita bersatu padu?
Puan Hajah Nancy Shukri - Batang Sadong
Hendaklah kita muhasabah diri dengan apa yang kita pelajari dari negara Jepun supaya dalam kita berpolitik, kita ingat bahawa kita adalah manusia yang mempunyai kekuatan dan kelemahan masing-masing. Maka, marilah kita bersatu padu demi rakyat, bangsa, dan negara dalam kita memperjuangkan politik kita, biarlah kita jujur dan ikhlas.
Tuan Yang di-Pertua, terdapat rakyat Malaysia di negara Jepun dan di antara mereka adalah pelajar yang berada di kawasan berhampiran Fukushima yang tertanya- tanya sama ada kerajaan mereka akan membawa mereka balik ke Malaysia atau tidak. Ini adalah di antara harapan mereka dan keluarga mereka. Saya mengharap ini dijawab oleh Yang Berhormat Menteri yang berkaitan. Ini kerana pagi tadi dalam berita dikatakan kita belum lagi bersedia untuk membawa mereka balik. Jadi, ini kita jawablah apa yang menjadi keluhan keluarga mereka masing-masing.
Tuan Yang di-Pertua, beberapa perkara juga yang perlu diteliti oleh kerajaan kita.
Kita ada MERCY dan beberapa lagi pasukan bantuan Malaysia. Apakah pasukan-pasukan bantuan ini akan dihantar untuk ke negara Jepun memberi bantuan? Terdapat juga perbezaan dari segi pembacaan skala Richter di antara siaran akhbar yang memberi bacaan 9.8 Richter dengan izin, dan CNN pula memberi bacaan 8.9 Richter. Jadi, saya mengharapkan ini mendapat pengesahan dari pihak-pihak yang tertentu supaya rakyat kita mempunyai panduan yang baik dan yang teratur dalam mengendali perkara seperti ini supaya mereka mempunyai maklumat dan menjadi rakyat yang berilmu dalam bidang ini.
Saya juga turut menyokong dan menyarankan di sini agar rakyat Malaysia bersama-sama menyumbang dalam bentuk kewangan melalui tabung bencana ataupun apa sahaja bantuan yang boleh kita bantu untuk meringankan beban negara Jepun kerana mereka selama ini telah membantu kita. Jadi, inilah cara kita untuk membalas budi negara yang telah berbudi kepada kita.
Akhir sekali Tuan Yang di-Pertua, saya mendoakan agar rakyat negara Jepun tabah dan kuat semangat dalam menangani bencana yang mereka hadapi. Sama-samalah kita mendoakan agar tidak berulang lagi perkara ini supaya mereka dapat menyusun atur negara mereka. Sekian, terima kasih.
Dato’ Ibrahim Ali - Pasir Mas
[Bangun]
Tuan Yang di-Pertua
Yang Berhormat Bayan Baru.
Puan Hajah Nancy Shukri - Batang Sadong
Saya menyokong.
Dato’ Seri Zahrain Mohamed Hashim - Bayan Baru
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua memberi peluang saya untuk bahas usul ini. Terlebih dahulu saya ucap tahniah kepada Yang Amat berhormat Perdana Menteri dan Kerajaan Malaysia. Tepat pada masanya untuk membincang usul ini di Parlimen, di mana kita sebagai rakyat Malaysia bersatu dalam menghadapi, menunjukkan simpati kita kepada rakyat Jepun. Jepun telah menjadi rakan kongsi kita begitu lama, 30 tahun daripada asal polisi pandang ke timur dan banyak telah membantu negara kita dalam pembangunan negara kita dan hari ini kita harus melakukan sesuatu. Rakyat Malaysia seluruhnya terutamanya Kerajaan Malaysia melakukan sesuatu untuk membantu mereka semua. Ini bencana yang sungguh dahsyat.
Kita dengar hampir 13,000 orang yang hilang dan mati di Jepun. Malaysia untung sebab kita tidak pernah lalui perkara tsunami ini. Akan tetapi tsunami politik mereka cakap dahulu lain sedikit, ya.
Tsunami ini selalunya bencana. Jangan tsunami politik, bencana negara kita susah juga. Jadi, isu tsunami ini jangan dipermainkan dan gambarkan jangan dipermainkan.
Gambar kartun ultraman belakang tsunami pun is bad taste. Itu patut dan harus juga dilupakan. Kita harus mengambil iktibar bahawa ini satu bencana malapetaka yang diturunkan oleh Allah SWT. Akan tetapi kita sebagai manusia harus mengambil iktibar untuk mencari jalan, rakan manusia kita telah menghadapi masalah dan kita harus membetulkan.
Dato’ Seri Zahrain Mohamed Hashim - Bayan Baru
Oleh sebab itu, bagi saya isu tsunami dan isu gerak gempa ini adalah satu proses masalah geological. Dengan teknologi yang kita ada sekarang ini kita harus cari jalan untuk menentukan bahawa saranan terhadap masalah geological ini harus juga diberi iktibar.
Salah satu isu ialah tentang treaty Antartika. Ini kerana kita tahu dalam masalah geological ini, termasuk juga masalah climate changers dan saya ingin tanya di sini dengan Yang Berhormat Perdana Menteri sebab saya telah bawa kepada beliau pada suatu ketika dahulu tentang penglibatan Malaysia dengan treaty Antartika. Adakah kita telah menjadi member?
Ini kerana ia penting.
Perkara-perkara seperti malapetaka bencana ini ada kait paut dengan climate change. Jadi, kita perlu ada satu keadaan di mana kita preventif terhadap masalah-masalah ini. Seperti saya kata tadi, kita bersyukur negara Malaysia tidak pernah lalui masalah dahsyat seperti ini dan kita tahu selain daripada gerak gempur dan tsunami dan cuaca yang sejuk sedang melanda Jepun, masalah nuklear pun jadi masalah. Jadi, saya mintalah kalau boleh kerajaan ambil iktibar dan kaji semula tentang polisi nuklear ini. Kita harus dekat dengan polisi jana kuasa lebih terhadap kehijauan. Membina melalui hidro, wind power, solar dan sebagainya.
Mungkin nuklear ini kita tolak ke tepi sebab ia bermasalah. Daripada dulu saya pernah dengar Yang Berhormat perdana Menteri yang lepas Tun Dr. Mahathir pernah berkata nuklear ini last result. Jadi, kalau bolehlah kerajaan dan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri kaji semula. Beri semula pemikiran yang lebih serius dan kalau perlu kita boleh bahas di Parlimen ini tentang polisi nuklear negara kita. Akan tetapi berbalik kepada negara Jepun saya rasa setiap rakyat Malaysia memang bersimpati dan kami rakan-rakan saya di BEBAS, kalau ada program-program yang dipimpin oleh kerajaan untuk menolong dan bantu negara Jepun dan rakyat Jepun, kami bersedia.
Walaupun perlu pergi ke negara Jepun pun untuk menjaga rakyat... [Tepuk] Jadi, saya hanya ingin mahu beri peluang rakan-rakan BEBAS yang lain bercakap Tuan Yang di- Pertua, saya pendekkan. Saya dengar ada NGO untuk bantu, Puteri 1Malaysia kelak boleh hantar secara sukarela. Puteri 1Malaysia, Putera kah? Saya fikirkan Puteri. Puteri saya mahu ikutlah. Putera tidak mengapa, saya ikut sekali... [Ketawa] Putera 1Malaysia kelak pula boleh hantar secara sukarela dan mereka telah pun tunjuk prestasi mereka di Palestin, Afghanistan, Pakistan dan Christchurch baru-baru ini. Saya syor harus juga Putra sokong dan kami akan sokong juga. Kalau perlu bantuan kami, kami akan bantu.
Jadi akhir sekali Tuan Yang di-Pertua, saya menyokong penuh usul ini dan syabas kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dan kerajaan yang telah membawa usul ini.
Terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua
Terima kasih. Yang Berhormat Tawau. Selepas Yang Berhormat Tawau, Yang Berhormat Pasir Mas. So, time jam 1 petang mesti semua selesai.
Sila Yang Berhormat Tawau.
Datuk Chua Soon Bui - Tawau
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Saya ucapkan terima kasih kepada Tuan Yang di-Pertua kerana memberi peluang kepada saya untuk mengambil bahagian dalam usul ini.
Tuan Yang di-Pertua, ketika Jepun ditimpa serantau oleh malapetaka gempa bumi, tsunami serta kebocoran loji janakuasa nuklear yang mengakibatkan beribu-ribu nyawa teragut dan berjuta keluarga tinggal sehelai sepinggang. Kita Ahli Parlimen dari Malaysia termasuk wakil dari Parti SAPP menyampaikan ucapan takziah kita yang tidak terhingga kepada kerajaan dan rakyat Jepun. Kita bertafakur serta turut melahirkan kesedihan kita atas kehilangan nyawa, kebinasaan rumah, halaman mereka yang amat sangat ini. Kita sedar kegelisahan, kepiluan dan keseksaan terlibat dalam malapetaka kali ini adalah jauh di luar jangkaan dan dugaan kita.
Saya menyokong usul dan pandangan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri kita agar kita dapat menghulurkan bantuan dan sokongan kita baik berbentuk moral mahupun kebendaan kepada pihak Jepun untuk menangani situasi yang cukup mencabar sekarang.
Datuk Chua Soon Bui - Tawau
Sebagaimana yang kita sedia maklum, letupan loji nuklear di Fukushima telah menyamai ketakutan melanda di rantau Asia ini. Kita berdoa moga-moga malapetaka dapat ditangani dengan berjaya agar mengelakkan kesan radioaktif yang cukup membinasakan.
Tuan Yang di-Pertua, dalam pada itu perlu kita mentauladani kecekapan pihak berkuasa Jepun dalam usahanya menangani bencana seperti ini. Budaya sosial serta disiplin dan kesediaan mereka yang kental menghadapi krisis patut memberikan kita ikhtiar dan teladan yang boleh dicontohi. Baru-baru ini hujung bulan Februari, apabila delegasi Parlimen seramai 28 Ahli Parlimen kita diundang untuk melawat ke Parlimen Jepun, kita telah diraikan dengan penuh keakraban dan kemesraan oleh tuan rumah dan juga dianjurkan oleh UPF iaitu Universal Peace Federation yang memperjuangkan keamanan dan keharmonian global.
Namun malangnya, kami mendapati komunikasi dengan mereka telah terputus dan di sini berharap semoga mereka semua masih sihat dan selamat. Kita turut bersedih atas kesengsaraan dialami oleh rakyat Jepun khususnya di Fukushima, Jepun berikut letupan loji nuklear yang dilaporkan. Kita berharap kementerian kita yang berkenaan khususnya Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air dapat memaklumkan rakyat kita dengan setelus mungkin tentang risiko wujudkan kesan tempiasan dari letupan yang dimaksudkan.
Tuan Yang di-Pertua, rakyat Sabah sangat khuatir dan ingin bertanya kepada kerajaan, apakah polisi yang sedia ada atau diadakan tentang tindakan terhadap nuclear particle atau acid rain yang kita sediakan dalam segi resources, training dan disasters management dengan izin, in tackling radiation risk from a foreign country. Ini kerana lokasi Sabah adalah dekat dengan sebuah loji kuasa nuklear di Manila, Filipina dan juga beberapa loji kuasa nuklear di Guangdong dan negara China.
Kerajaan kita harus mempertimbangkan ura-ura yang menggesa agar loji-loji nuklear yang bakal dibina di bumi kita termasuk Sabah dapat dimansuhkan demi keselamatan kita semua. Sebenarnya, pihak Jerman telah dilaporkan membatalkan tujuh buah loji sedemikian dan juga tindakan diambil oleh pihak Australia juga. Bagi kita, adalah wajar kita beralih kepada sumber tenaga alternatif yang lebih selamat berbanding dengan loji kuasa nuklear demi kepentingan generasi kita bahkan cucu-cicit kita. Dengan ini, saya mohon menyokong usul ini. Sekian, terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua
Yang Berhormat Pasir Mas.
Dato’ Ibrahim Ali - Pasir Mas
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Saya turut menyokong usul yang dibawa Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dan turut sama menyampaikan ucapan takziah kepada rakyat dan Kerajaan Jepun.
Perkara yang paling utama sekali Tuan Yang di-Pertua, usul ini menuntut kita menyatakan setinggi kesyukuran kepada Allah SWT kerana negara kita bebas daripada bencana-bencana buruk seumpama ini. Malah saya baru terima pesanan ringkas, baru sekejap gempa bumi berukuran 6.5 skala di kesan di Kepulauan Vanuatu iaitu lebih kurang 5,900km dari Kunak, Sabah.
Bencana-bencana ini Tuan Yang di-Pertua, sudah kita lihat berlaku di mana-mana sahaja di akhir-akhir ini sama ada gempa bumi, tsunami di merata-rata tempat. Tidak kurang juga tsunami politik seperti yang berlaku di Afrika Utara dan Timur Tengah, pembunuhan sesama manusia dalam soal perebutan kuasa politik.
Jadi dalam hal ini Tuan Yang di-Pertua, saya hendak lihat sebagai seorang Islam, dalam perspektif saya seorang Islam, saya ingin merujuk kepada dua dimensi iaitu dengan merujuk kepada surah Al-Quran, ayat ar-Rum: 41 dan juga al-Hadid: 22-23, di mana bencana-bencana seumpama ini Tuan Yang di-Pertua berlaku; satu ialah kerana perbuatan tangan manusia yang menyebabkan kemurkaan Allah sehingga berlaku bencana di darat dan di laut.
Dato’ Ibrahim Ali - Pasir Mas
Bencana perbuatan manusia ini macam-macam, bukan sahaja dalam soal penyalahgunaan perkembangan sains dan teknologi dalam konteks perlumbaan kuasa, climax change yang disebutkan tadi, tetapi juga perbuatan-perbuatan manusia ini termasuklah kita dalam soal memilih kerajaan, memilih parti untuk mentadbir. Ini juga tanggungjawab di atas peranan tanggungjawab manusia.
Oleh sebab itu ia boleh jadi macam-macam tragedi sebab kita ingat Tuan Yang di- Pertua, perkara yang paling dimurkai oleh Allah SWT ialah kita tahu liwat dan juga zina.
Kalau pemimpin-pemimpin yang diangkat oleh rakyat terlibat dalam perkara-perkara seumpama ini lebih-lebih lagi liwat kita kata, tunggulah bencana dan kemusnahannya. Ini boleh kita buktikan peristiwa yang berlaku di zaman Nabi Luth dahulu yang masih lagi kita dapat lihat di Laut Mati di Jordan.
Dato’ Ibrahim Ali - Pasir Mas
Maka sebab itu saya ingin mengucapkan tahniah dan bersyukur kepada Allah SWT kerana rakyat negara kita bijak memilih kerajaan dan bijak memilih pemimpin. Jika tidak tunggulah kemusnahan. Tentulah sedikit sebanyak ada kelemahan tetapi jangan perkara-perkara yang kita boleh mengangkat ataupun menobatkan sesuatu perkara yang di luar apa orang kata, yang tidak sepatutnya berlaku. Tidak mungkin perkara ini boleh berlaku dan kalau berlaku tunggulah natijahnya. Maka sebab itu alhamdulillah kita selamat sampai sekarang. Kita cuma mengalami tsunami politik sekali sahaja iaitu 13 Mei berlaku tragedi permusuhan di antara kaum berbeza dengan apa yang berlaku di Timur Tengah sesama bangsa, sesama agama berlaku pembunuhan. Kita tengok begitu dahsyat apa yang berlaku di Libya. Samalah juga kalau kita lihat dari segi apa yang berlaku di Jepun dalam konteks akibat kematian manusia dan kemusnahan alam semula jadi.
Jadi, kita mengingatkan diri kita, usul ini yang penting Tuan Yang di-Pertua untuk mengingat diri kita. Saya mengingatkan diri saya sendiri supaya kita dalam negara masyarakat majmuk ini, supaya tidak melakukan angkara-angkara yang boleh menimbulkan malapetaka seperti tragedi pergaduhan kaum seperti 13 Mei dahulu. Hal ini sudah kita lalui begitu lama, tetapi muncul balik selepas pilihan raya ke-12 baru-baru ini yang kalau kerajaan tidak tangani dengan baik, dengan tegas tentu juga bencana-bencana pembunuhan sesama kaum ini boleh berlaku. Negara kita mungkin berbeza dengan Jepun tetapi akibatnya ialah juga bencana...
Datuk Haji Mohamad bin Haji Aziz - Sri Gading
[Bangun]
Dato’ Ibrahim Ali - Pasir Mas
Oleh sebab itu Tuan Yang di-Pertua kalau kita rujuk juga kepada dimensi tadi, saya sebut tadi dimensi pengiktibaran. Yang kedua dimensi mengenai dengan ‘iktidad’ iaitu...
Datuk Haji Mohamad bin Haji Aziz - Sri Gading
Yang Berhormat Pasir Mas.
Boleh mencelah?
Dato’ Ibrahim Ali - Pasir Mas
Ya, silakan.
Datuk Haji Mohamad bin Haji Aziz - Sri Gading
Tuan Yang di-Pertua apa yang diperkatakan oleh Yang Berhormat Pasir Mas tadi sesuatu kebenaran. Perlakuan liwat suatu perbuatan yang termaktub di dalam al-Quran bagaimana kemurkaan Allah, kaum Nabi Luth umpamanya. Akan tetapi yang malangnya Yang Berhormat Pasir Mas ada golongan konon memperjuangkan Islam, tetapi menyokong seolah-olah menyokong perbuatan ini. Bagaimana agak pendapat Yang Berhormat Pasir Mas?
Dato’ Ibrahim Ali - Pasir Mas
Saya percaya Yang Berhormat pun tahu jawapannya. Cuma Yang Berhormat hendak suruh saya sebut lebih terang. Itukah maksudnya? Jadi Tuan Yang di-Pertua ini soal politik kadang-kadang manusia bila dia sudah taksub dengan politik dia lupa segala-galanya. Dia lupa pada agama, dia lupa tanggungjawab kepada Allah, dia lupa walaupun dia bercakap mengenai dengan agama.
Oleh sebab itu saya tidak tahu Yang Berhormat Sri Gading, apakah Tuan Yang di-Pertua dunia sekarang ini sudah hampir kiamat saya tidak tahu sebab ada ulama’ yang bergelar Tok Guru, Tuan Haji macam-macam ulama’ boleh menobatkan orang bukan Islam sebagai Khalifah Umar Abdul Aziz. Jadi apakah ini tanda-tanda dunia hendak kiamat wallahu a’lam.
Dato’ Ibrahim Ali - Pasir Mas
Akan tetapi saya tengok dalam perspektif Islam. Saya harap rakan-rakan bukan Islam jangan salah tanggap dengan pandangan saya ini. I’m just saying, dengan izin, bila Muslim itu perspektifnya. Oleh sebab itu saya naik hairanlah dengan perkembangan- perkembangan yang berlaku sekarang, tetapi tidak hairan sebab sudah ada dalam al-Quran sudah diperingatkan Allah SWT dalam al-Quran. Maka sebab itu kalau kita lihat dalam perspektif kedua iaitu dimensi ‘iktidad’ ini kita diingatkan untuk memperbaiki kelemahan.
Jikalau saya lemah saya baiki kelemahan saya. Kita perbetulkan diri kita, kita mengaku kesilapan kita dan kita...
Tuan Zulkifli bin Noordin - Kulim Bandar Baharu
Yang Berhormat Pasir Mas.
Dato’ Ibrahim Ali - Pasir Mas
Ya.
Tuan Zulkifli bin Noordin - Kulim Bandar Baharu
Baik, saya tertarik Tuan Yang di-Pertua kenyataan oleh Yang Berhormat Pasir Mas. Yang Berhormat Pasir Mas sedar atau tidak dalam al-Quran Surah An-Nisa’ ada menyebut, “Bumi hampir pecah, laut terbelah kerana kamu memanggil Allah punya anak.” Kaitan dengan isu yang kita sedang hadapi sekarang ini berkaitan dengan Bible Bahasa Melayu ini yang kita perlu faham persoalannya bukan Bible Bahasa Melayu itu, cakaplah Melayu tidak apa tetapi istilah-istilah yang digunakan dalam Bible tersebut termasuk kalimah Allah dikatakan punya anak. Jadi tidakkah itu mengundang bencana daripada Allah bersandarkan pada ayat tersebut tadi?
Terima kasih.
Dato’ Ibrahim Ali - Pasir Mas
Oleh kerana masa tidak mengizinkan Tuan Yang di-Pertua, mungkin akan datang bencana termasuk kerajaan sendiri kalau tidak prihatin, tidak tegas. Saya sudah terbayang satu hari nanti, minta maaf saya bukan anti mana-mana agama. Saya cukup menghormati penganut-penganut dan agama-agama lain, cuma saya takut sebab saya lihat dalam kepercayaan saya sebagai orang Islam. Suatu hari nanti saya tidak terkejut kalau kita lihat gereja di Malaysia nanti ada pangkah, tetapi di pintu masuk tertulis nama Allah. Ini mungkin berlaku. Jikalau di Indonesia berlaku itu beratus tahun dahulu. Sudah jadi budaya mereka tetapi di negara kita perkara ini perkara baru yang boleh timbul macam-macam sensitiviti.
Jadi bila kita tidak bersetuju, kita membantah ada mengatakan kita ini racist, kita ini ekstremis...
Tuan Chua Tian Chang @ Tian Chua - Batu
Tuan Yang di-Pertua.
Dato’ Ibrahim Ali - Pasir Mas
Tidak, tidak. Duduk, duduk.
Tuan Chua Tian Chang @ Tian Chua - Batu
Tuan Yang di-Pertua, saya point of order.
Dato’ Ibrahim Ali - Pasir Mas
Saya tidak ada masa.
Tuan Chua Tian Chang @ Tian Chua - Batu
Point of order. Perbahasan ini cuba memperlekehkan usul yang dibawa oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri. Kita ingin menyampaikan takziah kepada rakyat Jepun, tetapi saya anggap hujah-hujah ini telah menghina tujuan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri untuk menyampaikan kemurnian Dewan ini kepada rakyat Jepun. Saya agak Tuan Yang di-Pertua harus hentikan perkara- perkara ini. Ini mencemarkan imej Kerajaan Malaysia dan juga rakyat Malaysia.
Tuan Ahmad Kasim - Kuala Kedah
Tuan Yang di-Pertua, saya setuju dengan pandangan Yang Berhormat Batu tadi.
Dato’ Ibrahim Ali - Pasir Mas
Duduklah. Terima kasih.
Tuan Ahmad Kasim - Kuala Kedah
Di dalam al-Quran, dalam Surah Yusuf Allah SWT sebut bagaimana kes Nabi Yusuf sendiri diseksa, dihina kerana pembuktian yang salah tentang meletakkan DNA, darah kepada baju yang tidak koyak. Benda ini dalam al- Quran... [Dewan riuh]
Tuan Zulkifli bin Noordin - Kulim Bandar Baharu
Bagilah DNA.
Tuan N. Gobalakrishnan - Padang Serai
Minta Anwar bagi DNAlah.
Tuan Yang di-Pertua
Ahli Yang Berhormat, Ahli Yang Berhormat.
Datuk Haji Mohamad bin Haji Aziz - Sri Gading
Saya ingat cerita Nabi Yusuf ini sudah diselewengkan... [Dewan riuh]
Seorang Ahli
Apa ini? Merepek pula dia ini... [Dewan riuh]
Tuan Ahmad Kasim - Kuala Kedah
Kita kembali kepada usul.
Tuan N. Gobalakrishnan - Padang Serai
Yang Berhormat Kuala Kedah, minta Anwar bagi DNAlah.
Tuan Zulkifli bin Noordin - Kulim Bandar Baharu
Bagilah DNA itu, apa yang takut sangat?... [Dewan riuh]
Tuan Ahmad Kasim - Kuala Kedah
Kita cerita bab Jepun. Ini cerita DNA..
[Dewan riuh]
Tuan N. Gobalakrishnan - Padang Serai
Cerita DNA dari al-Quran tetapi tidak berani bagi DNA.
Tuan Yang di-Pertua
Sudah Ahli-ahli Yang Berhormat. Sudah Ahli-ahli Yang Berhormat.
Tuan N. Gobalakrishnan - Padang Serai
Kita minta Yang Berhormat Kuala Kedah minta Ketua Pembangkang bagi DNA.
Tuan Yang di-Pertua
Sudah, yang sudah, sudah.
Tuan N. Gobalakrishnan - Padang Serai
Cerita daripada al-Quran tetapi tidak berani bagi DNA. Pooooorah!... [Ketawa]
Tuan Yang di-Pertua
Yang Berhormat Padang Serai sudah. Yang Berhormat Kulim Bandar Baharu duduk.
Tuan Zulkifli bin Noordin - Kulim Bandar Baharu
Okey.
Tuan Yang di-Pertua
Yang Berhormat Pasir Mas.
Dato’ Ibrahim Ali - Pasir Mas
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Tuan Yang di-Pertua
Sila Yang Berhormat Pasir Mas dan hujah itu Yang Berhormat Pasir Mas tolong confine kepada perkara-perkara yang tidak menyentuh perasan orang lain.
Dato’ Ibrahim Ali - Pasir Mas
Ya, ya saya faham. Saya tidak ada menyentuh apa pun. Saya cakap bab umum dan kenapa ada orang terasa? Ini makan cili dia rasa pedas, itu dia punya pasallah saya tidak ada kena-mengena. Kalau sudah terasa kena itu Yang Berhormat-Yang Berhormat punya pasallah. Saya hendak bercakap pandangan saya dan bila orang lain bercakap saya hormat, saya dengar, saya tidak ganggu. Apabila kena atas batang hidung sendiri sudah melenting.
Oleh sebab itu saya menyeru kepada rakyat Malaysia kalau hendak selamat, jangan berlaku bencana-bencana elakkan daripada memilih pemimpin dan parti yang tidak bertanggungjawab seperti mana dijelaskan dalam al-Quran tadi. Ini yang saya berharap tadi saya duduk tunggu juga wakil PAS menyentuh bab-bab ini tetapi kerana kepentingan politik maklum sahajalah. Jadi Tuan Yang di-Pertua akhir, gulung yang kedua saya katakan tadi, kita kena mesti mengubah dan memperbaiki kelemahan kerana kita tahu apa yang terjadi juga sudah disebut dalam Loh Mahfuz iaitu sudah tertulis. Oleh sebab itu kita diingat untuk memperbaiki diri kita.
Jadi Tuan Yang di-Pertua saya amat menyanjung tinggi, ucap tahniah kepada kerajaan kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat Timbalan Perdana Menteri kerana begitu prihatin bukan sahaja di Jepun di mana-mana sahaja di dunia kita lihat, bila berlaku bencana bendera Malaysia dululah yang terpacak yang kita lihat dari segi memberi sokongan dan komitmen.
Dato’ Ibrahim Ali - Pasir Mas
Cuma tinggal lagi pembangkang kerja dia merosakkan nama Malaysia, itu sahaja.
Terima kasih, saya menyokong usul Yang Amat Berhormat Perdana Menteri.
Tuan Yang di-Pertua
Yang Berhormat Pokok Sena. Yang Berhormat Pokok Sena saya boleh panggil Yang Berhormat Menteri untuk menjawab.
Dato’ Mahfuz bin Haji Omar - Pokok Sena
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Sedikit sahaja. Saya simpati, kemudian berkaitan dengan soal Malaysia iaitu berkaitan dengan sistem amaran awal, tetapi ada satu masalah kita di Malaysia ini ialah...
Datuk Haji Baharum bin Haji Mohamed - Sekijang
Tidak payahlah. Duduklah, duduklah.
Dato’ Mahfuz bin Haji Omar - Pokok Sena
Panggilan kecemasan 999 ada masalah sekarang ini. Saya minta kerajaan harus mengambil perhatian kerana untuk upgradekan dia bukan hanya meliputi kawasan Lembah Kelang, tetapi ke seluruh negara Malaysia kerana Telekom sudah pun membelanjakan lebih daripada RM300 juta untuk panggilan kecemasan 999. Jadi ini ada kaitan jika berlaku bencana dalam negara kita, kita tidak boleh berkomunikasi antara polis, bomba dan juga hospital. Ini menjadi rungutan kepada beberapa pihak ini, jadi saya minta kerajaan harus menyegerakan upgrade system yang terus diguna pakai dalam negara kita ini kepada satu sistem yang lebih luas untuk kita menghadapi kemungkinan bencana. Terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua
Terima kasih Yang Berhormat. Terima kasih Yang Berhormat.
Datuk Haji Baharum bin Haji Mohamed - Sekijang
Esok kita buat pun tidak puas hati juga.
Tuan Yang di-Pertua
Ahli-ahli Yang Berhormat, Yang Berhormat Menteri Luar Negeri akan menjawab nanti pada sebelah petang. Ahli-ahli Yang Berhormat, Mesyuarat kita tangguhkan sehingga jam 2.30 petang nanti.
**Mesyuarat ditempohkan pada pukul 1.01 petang.
Mesyuarat disambung semula pada pukul 2.30 petang.** [Timbalan Yang di-Pertua (Datuk Dr. Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar) mempengerusikan Mesyuarat]
Timbalan Yang di-Pertua - Datuk Dr. Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar
Ya, Yang Berhormat Menteri menjawab. Saya minta penjelasan dahulu sebelum menjawab itu berapa minit cukup untuk menjawab?
Menteri Luar Negeri - Dato' Sri Anifah bin Aman
Tuan Yang di-Pertua, saya ingat dalam masa di antara 12 hingga 15 minit.
Timbalan Yang di-Pertua - Datuk Dr. Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar
Terima kasih Yang Berhormat. Sila Yang Berhormat.
Menteri Luar Negeri - Dato' Sri Anifah bin Aman
Terima kasih Tuan Yang di- Pertua. Tuan Yang di-Pertua, terima kasih kerana mengizinkan saya untuk membuat penggulungan perbahasan yang bermula pada pagi ini. Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada Ahli-ahli Yang Berhormat yang telah mengambil bahagian dalam perbahasan dan menyokong usul yang dibawa oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri bagi mengucapkan takziah dan simpati kepada kerajaan dan rakyat Jepun ke atas bencana gempa bumi dan tsunami yang melanda Timur Laut Jepun pada 11 Mac 2011 yang lalu.
Menteri Luar Negeri - Dato' Sri Anifah bin Aman
Walaupun ramai Ahli Yang Berhormat tidak berpeluang untuk membahaskan usul ini, saya yakin kita semua dalam Dewan yang mulia ini menyokong pendirian Malaysia dalam perkara ini. Usul yang dibentangkan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri telah lahir daripada minda seorang pemimpin dan negarawan yang benar-benar prihatin terhadap isu-isu kemanusiaan, keselamatan dan kesejahteraan sejagat.
Rasa kemanusiaan yang diluahkan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dan kita semua di dalam Dewan ini terhadap tragedi bencana yang sedang dilalui oleh Jepun adalah wajar untuk kita zahirkan. Tuan Yang di-Pertua, gempa bumi yang kuat melanda Timur Laut Jepun tersebut telah mengakibatkan tsunami di sepanjang persisiran Pantai Timur Laut Jepun.
Kesan gegaran kuat tersebut turut dirasai di Tokyo. Syukur alhamdulillah, walau pun bangunan Kedutaan Besar Malaysia di Tokyo mengalami kerosakan kecil akibat daripada gegaran tersebut, namun pihak kedutaan telah dapat beroperasi seperti biasa.
Pihak kedutaan telah memulakan bilik operasi gempa bumi sejurus selepas gegaran yang pertama dan terus membantu dan menghubungi rakyat termasuk pelajar Malaysia yang berada di kawasan-kawasan yang paling teruk dilanda gempa bumi dan tsunami terutamanya Miyagi, Fukushima, Iwate dan Ibaraki. Sehingga ke hari ini, Jepun dilaporkan masih lagi merasai gegaran-gegaran susulan.
Tuan Yang di-Pertua, seperti yang Ahli Yang Berhormat sedia maklum sehari selepas kejadian bencana, gempa bumi dan tsunami tersebut, berlaku pula beberapa siri kejadian letupan loji reaktor di Pusat Jana Kuasa Nuklear Fukushima yang telah membangkitkan kebimbangan masyarakat antarabangsa. Keadaan ini benar-benar menguji kemampuan Kerajaan Jepun untuk menangani masalah tersebut. Walau bagaimanapun, menurut laporan yang diterima pihak Jepun sedang mengambil langkah untuk mengelakkan kebocoran radiasi yang lebih serius.
Tuan Yang di-Pertua, saya pasti ramai di antara Ahli Yang Berhormat turut bersimpati dengan apa yang terpaksa dihadapi oleh Jepun dan menyuarakan keprihatinan akan tahap keselamatan bukan sahaja ke atas rakyat Jepun tetapi juga warga negara termasuk para pelajar Malaysia.
Walaupun terdapat kekangan dari segi untuk mendapatkan sumber bekalan minyak, makanan dan limitasi sumber elektrik, pihak kedutaan besar Malaysia di Tokyo telah menghantar dua pasukan peninjau ke kawasan-kawasan yang teruk dilanda gempa bumi dan tsunami untuk memantau dan meninjau keadaan rakyat Malaysia yang telah dipindahkan ke pusat-pusat (eraluasi) perpindahan yang disediakan oleh pihak berkuasa Jepun.
Berpegang kepada prinsip ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’, pegawai-pegawai kedutaan besar Malaysia telah mengambil risiko mengharungi pelbagai halangan untuk sampai ke kawasan yang terjejas teruk. Mereka telah berjaya menemui rakyat dan pelajar Malaysia di sana dan melaporkan bahawa kesemua rakyat dan pelajar Malaysia di pusat-pusat (eraluasi) perpindahan berada dalam keadaan baik dan menerima bekalan makanan serta minuman yang mencukupi.
Di dalam hal ini, Kerajaan Malaysia ingin merakamkan penghargaan tinggi ke atas segala bantuan yang telah diberikan oleh pihak berkuasa Jepun kepada rakyat Malaysia terutamanya para pelajar Malaysia di kawasan yang dilanda bencana tersebut. Saya juga telah difahamkan bahawa setakat jam 9.00 pagi tadi, Kedutaan Besar Malaysia di Tokyo telah berjaya menghubungi seramai 1,650 orang rakyat Malaysia dan mengesahkan bahawa mereka berada di dalam keadaan selamat. Pihak kedutaan juga telah melaporkan bahawa beberapa pelajar Malaysia dari kawasan-kawasan yang terjejas teruk seperti yang saya sebutkan tadi telah selamat tiba di Kedutaan Besar Malaysia di Tokyo. Pihak kedutaan akan membantu mereka dalam urusan penerbangan pulang ke Malaysia sekiranya diperlukan.
Tuan Yang di-Pertua, seperti Ahli-ahli Yang Berhormat sedia maklum, Jepun merupakan antara negara-negara yang paling bersedia untuk menghadapi ancaman gempa bumi mahupun tsunami.
Tuan Chua Tian Chang @ Tian Chua - Batu
Boleh mencelah?
Dato' Sri Anifah bin Aman
Namun bencana kali ini benar-benar menguji kemampuan Kerajaan Jepun untuk meningkatkan lagi usaha-usaha menyelamatkan...
Tuan Chua Tian Chang @ Tian Chua - Batu
Yang Berhormat Menteri, maaf.
Dato' Seri Anifah bin Haji Aman
Let me finish it first. Biar saya habiskan dahulu.
Namun, bencana kali ini benar-benar menguji kemampuan Kerajaan Jepun untuk meningkatkan lagi usaha-usaha menyelamat dan meminimumkan impak gempa bumi dan tsunami. Silakan.
Tuan Chua Tian Chang @ Tian Chua - Batu
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Timbalan Yang di-Pertua - Datuk Dr. Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar
Ringkaskan Yang Berhormat.
Tuan Chua Tian Chang @ Tian Chua - Batu
Ya, saya ringkas sahaja. Berbalik kepada isu pengembalian warga Malaysia ini. Menteri telah mengesyorkan bahawa ada usaha tetapi sampai hari ini saya masih baca dalam surat khabar dan juga dapat berita daripada teman-teman di Jepun, sekarang mereka banyak yang hendak cari tiket dan banyak lagi masih menghadapi kesulitan untuk mendapatkan transports kembali ke sini.
Adakah kerajaan bercadang untuk membantu dari segi kos dan juga facilities untuk mereka kembali secepat mungkin?
Dato' Sri Anifah bin Aman
Terima kasih Yang Berhormat. Sebenarnya, apa yang telah saya sebutkan tadi dua pasukan daripada kedutaan kita telah pun pergi ke tempat-tempat yang terlibat. Setakat ini ada 40 orang yang telah pun dipindahkan di Tokyo dan kita telah pun menghubungi semua pelajar dan juga warga negara Malaysia di tempat- tempat yang terlibat dan ada di antara mereka yang masih di tempat itu dan tidak mahu dipindahkan. Sesiapa kita telah maklumkan kepada rakyat Malaysia terutama sekali pelajar- pelajar bahawa sesiapa yang ingin balik ke negara kita, kita minta mereka melaporkan diri di kedutaan kita di Tokyo dan kita boleh mengatur penerbangan mereka dari penerbangan komersial iaitu Malaysia Airlines (MAS) dan kerajaan akan membiayai semua tambang dan perbelanjaan balik ke negara kita.
Dato' Sri Anifah bin Aman
Setakat ini juga Yang Berhormat, pelajar-pelajar kita ataupun rakyat Malaysia yang berada di kawasan tersebut iaitu Fukushima 39 orang rakyat kita, di antaranya 15 orang adalah pelajar-pelajar kita, di Iwate 29 orang dan 21 orang adalah terdiri daripada pelajar, di Miyagi 60 orang, 49 pelajar dan di Ibaraki 125 orang, 69 pelajar-pelajar kita.
Datuk Bung Moktar bin Radin - Kinabatangan
Minta penjelasan sikit boleh, Yang Berhormat Menteri?
Dato' Sri Anifah bin Aman
Ya, tunggu saya habiskan dulu. Jadi oleh itu, kalau sekiranya ada di antara teman-teman atau kawan-kawan Yang Berhormat yang menghubungi secara langsung dengan Yang Berhormat, sila maklumkan kepada saya dan saya akan maklumkan juga kepada kedutaan kita di mana kita boleh menghubungi mereka dan membantu mereka balik ke negara kita. Ya, silakan.
Datuk Bung Moktar bin Radin - Kinabatangan
Terima kasih Yang Berhormat Menteri. Syabas dan tahniah di atas usaha yang telah dilakukan oleh Kementerian Luar dalam menangani isu-isu yang sebegini. Walau bagaimanapun saya ada persoalan sedikit, apakah sehingga pada hari ini masih belum ada keperluan untuk kita membawa pulang rakyat negara kita yang berada di seluruh negeri Jepun?
Sebab pada ketika ini negeri Jepun berhadapan dengan dua kemungkinan.
Pertama, mungkin akan berlaku lagi tsunami di mana-mana sahaja di negeri Jepun. Kedua, berhubung dengan loji nuklearnya yang sedang dalam menghadapi masalah pada ketika ini. Jadi ini mungkin boleh berlaku pada bila-bila masa dan apakah rangka program kementerian ini untuk menangani isu-isu yang sebegini? Terima kasih.
Dato' Sri Anifah bin Aman
Terima kasih Yang Berhormat Kinabatangan.
Sebenarnya selepas berlakunya 11 Mac 2011 gempa bumi dan tsunami di Jepun, Majlis Keselamatan Negara telah pun bermesyuarat dan dalam mesyuarat itu kita telah pun putuskan untuk sedia membawa balik rakyat kita yang terlibat sekiranya ada keperluan. Apa laporan yang kita terima daripada Kerajaan Jepun bahawa loji nuklear, ia setakat ini tidak membawa bahaya kepada rakyat di sana, cuma dalam sekitar radius 20 kilometer sahaja.
Juga Perdana Menteri Jepun telah menasihatkan rakyat Jepun dan rakyat keseluruhannya supaya di radius 30 kilometer. Mereka dinasihatkan supaya berada dalam rumah.
Ingin saya maklumkan kepada Yang Berhormat bahawa tidak ada rakyat Malaysia yang ada di kawasan 50 kilometer radius di Jepun. Walau bagaimanapun, kita memandang berat tentang keadaan ini tetapi dari segi aspek hubungan dua hala, kita tidak mahu secara rasmi mengumumkan pembawaan balik rakyat kita dari Jepun. Akan tetapi kita telah pun menasihatkan rakyat kita di sana, sesiapa yang ingin kembali kita sedia untuk mengatur penerbangan mereka balik. Ini secara kita telah maklumkan kepada semua yang kita jumpa dan hubungi dengan kita.
Jadi sesiapa yang kemungkinan yang tidak dapat berhubung dengan kedutaan kita dan berhubung dengan Ahli-ahli Yang Berhormat di sini, sila maklumkan pada kita dan insya-Allah kita akan aturkan balik.
Tuan Mohd. Yusmadi bin Mohd. Yusoff - Balik Pulau
Sedikit dari Yang Berhormat Balik Pulau. Yang Berhormat Menteri, saya melihat bahawa komitmen Kerajaan Jepun terutama di dalam membina rantau ASEAN amat kuat dan amat akrab sehinggakan bantuan daripada badan-badan dengan izin, development agencies seperti Nippon Foundation dan sebagainya agak unprecedented ke arah membantu ASEAN.
Saya mencadangkan mungkin Menteri selaku Menteri Luar pada hari ini boleh mencadangkan agar ASEAN secara ASEAN, mengambil inisiatif di dalam membantu bantuan kemanusiaan seperti yang telah dilakukan terhadap Myanmar ketika Taufan Nargis baru-baru ini di bawah pimpinan Dr. Surin Pitsuwan. Ini kerana saya melihat rantau ini telah mendapat bantuan yang baik daripada Jepun.
Seterusnya saya juga ingin mencadangkan berdasarkan track record Malaysia yang baik sebelum ini, di dalam membawa pelajar-pelajar yang terlibat di dalam bencana- bencana alam ataupun negara konflik terutama di dalam aspek-aspek pendidikan. Saya rasa negara ASEAN apatah lagi Malaysia boleh membawa mereka ini kerana saya tahu pengalaman di Acheh - tsunami, kerja-kerja pembangunan semula itu amat memakan masa yang lama sehingga kita juga ada bawa pelajar-pelajar perubatan belajar di Malaysia.
Saya rasa ini satu peluang di mana di atas musibah ini ada perkara-perkara yang lebih bermakna yang akan mengeratkan lagi jalinan di antara dua negara ini. Mohon pandangan Yang Berhormat Menteri.
Dato' Sri Anifah bin Aman
Ya, terima kasih Yang Berhormat. Sebenarnya kita telah pun berhubung dengan Menteri-menteri Luar ASEAN yang dipengerusikan oleh Menteri Luar Indonesia. Kita telah pun berhubung di antara satu sama lain, tindakan- tindakan yang harus kita ambil. Pada ketika itu kita telah pun bersetuju bahawa negara- negara ASEAN yang banyak menerima bantuan daripada agensi-agensi kerajaan Jepun dan negara Jepun, kita telah pun membuat keputusan bahawa mengikut kemampuan masing-masing. Apa bantuan yang boleh kita beri dan kita beri.
Cuma dari segi koordinasinya, maka kita telah pun bersetuju sekiranya kita macam Malaysia mencadangkan menghantar SMART team dan juga petugas-petugas daripada segi medical dan lain-lain. Kita juga berhubung, memaklumkan negara-negara ASEAN yang lain supaya kita boleh membahagikan keperluan-keperluan yang diperlukan oleh negara Jepun. Tentang opportunity yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat tadi, kita akan kaji dan sekiranya ada keperluan ataupun ada ruang untuk kita berbuat demikian, insya-Allah kita akan lakukan.
Dato' Sri Anifah bin Aman
Tuan Yang di-Pertua, sehubungan itu kerjasama daripada masyarakat antarabangsa terutama Malaysia yang dibangkitkan oleh beberapa Yang Berhormat untuk menawar dan menghulurkan bantuan dalam apa jua bentuk sebagai salah satu inisiatif bagi menzahirkan rasa simpati dan takziah serta penghargaan ke atas segala bentuk sokongan yang telah diberikan Jepun kepada Malaysia.
Tuan Yang di-Pertua, kini setelah lima dekad hubungan baik dua hala yang terjalin, Malaysia bersama-sama masyarakat antarabangsa yang lain mengucapkan sedalam-dalamnya rasa takziah dan simpati kepada kerajaan dan rakyat Jepun ke atas tragedi bencana gempa bumi dan tsunami di Jepun yang telah menimpa mereka pada 11 Mac 2011. Malaysia juga bersedia untuk menghulurkan bantuan kepada negara Jepun atas dasar kemanusiaan sejagat. Sebagai sebuah negara Asia, Malaysia turut berkongsi kepedihan dan kebimbangan yang sedang ditanggung oleh Jepun.
Tuan Yang di-Pertua, apa yang sedang dilalui oleh kerajaan dan rakyat Jepun, kita turut dirasai oleh masyarakat antarabangsa terutama negara-negara Asia.
Tuan M. Manogaran - Telok Intan
Penjelasan. Terima kasih Tuan Yang di- Pertua dan terima kasih Yang Berhormat Menteri. Mengenai bantuan Malaysia kepada Jepun, saya difahamkan bahawa kumpulan SMART yang kita telah sedia untuk hantar ke Jepun belum dapat lagi pergi ke Jepun atas alasan-alasan yang tertentu, yang tidak kita ketahui sehingga sekarang. Apakah alasan yang sebenarnya Jepun tidak membuka pintu mereka pada kumpulan dari Malaysia untuk memberi sumbangan dari segi bantuan search and rescue? Terima kasih.
Dato' Sri Anifah bin Aman
Sebenarnya Tuan Yang di-Pertua, jawapan itu telah tersedia tetapi apa yang saya terkilan bahawa dalam masa-masa seumpama ini juga Yang Berhormat mengira ada udang di sebalik batu tentang kelulusan negara Jepun untuk kita pergi ke sana. Walau bagaimanapun, berkenaan dengan saranan Yang Berhormat Kepong yang sama mengenai penghantaran pasukan SMART.
Adalah dimaklumkan bahawa pasukan SMART yang turut disertai oleh pegawai daripada Kementerian Kesihatan Malaysia, Lembaga Pelesenan Tenaga Atom dan Agensi Nuklear Malaysia telah diarahkan untuk bersiap sedia dihantar ke Jepun sebaik sahaja hari pertama berlakunya gempa bumi dan tsunami pada 11 Mac 2011 yang lalu. Namun penerbangan pasukan SMART tertakluk kepada persetujuan akhir dan kebenaran mendarat Kerajaan Jepun.
Kita mempunyai Peraturan Tetap Operasi atau Standard Operating Procedure dengan izin, yang perlu dipatuhi pasukan-pasukan penyelamat yang menawarkan bantuan ke Jepun dikehendaki beroperasi secara self-sustained dengan izin, dan Jepun juga menghadapi masalah serta peralatan-peralatan di kawasan terjejas. Iaitu Yang Berhormat, kekurangan helikopter pengangkut. Manakala berkenaan jabatan-jabatan dan agensi- agensi memberikan maklumat yang betul dan tepat, jabatan-jabatan dan agensi-agensi kerajaan sememangnya selalu memberikan maklumat yang betul, tepat dan tulus dalam memberikan maklumat kepada rakyat Malaysia.
Sistem-sistem pemantauan adalah sentiasa diselenggarakan dengan baik dan mengikut piawaian antarabangsa. Contoh, Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM) sentiasa menyelenggarakan sistem pemonitorannya mengikut standard dan prosedur yang perlu dipatuhi dengan ketat seperti yang ditetapkan oleh World Meteorological Organization
(WMO) supaya maklumat dan data yang dibekalkan adalah tepat dan betul.
Tuan Chua Tian Chang @ Tian Chua - Batu
[Bangun dan bertanyakan Tuan Yang di-Pertua]
Timbalan Yang di-Pertua - Datuk Dr. Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar
Yang Berhormat, kita ada perbahasan satu hari Yang Berhormat.
Tuan Chua Tian Chang @ Tian Chua - Batu
[Bangun]
Dato’ Sri Anifah bin Aman
Ringkas.
Tuan Chua Tian Chang @ Tian Chua - Batu
Bacaan-bacaan ini bolehkah disiarkan seperti API yang semasa kita menghadapi jerebu. Adakah ini lebih sesuai supaya rakyat Malaysia sedar tentang tahap bahaya itu.
Dato’ Sri Anifah bin Aman
Ini nanti kita akan bincangkan dengan agensi-agensi berkenaan dan juga dengan pihak-pihak yang berkenaan sama ada ada keperluan sedemikian.
Tuan Yang di-Pertua, berkenaan dengan saranan Yang Berhormat Batang Sadong pula mengenai dengan penyebaran amaran tsunami kepada penduduk di persisiran pantai.
Jabatan Meteorologi Malaysia berupaya mengeluarkan maklumat gempa bumi dan amaran awal tsunami dalam masa 12 minit selepas kejadian gempa bumi.
Maklumat dan amaran disebarkan melalui SMS, saluran TV, laman web, telefon, faksmili, Facebook dan Twitter. Penyebaran amaran juga dibuat melalui siren tsunami yang dipasang di persisiran pantai dan Fixed Line Alert System, dengan izin. Pihak polis tempatan melalui koordinasi MKN akan berada di persisiran pantai bagi memastikan orang ramai berpindah apabila amaran itu dikeluarkan. Bagi memastikan orang ramai memahami bahaya dan risiko gempa bumi dan tsunami dan tahu bertindak apabila amaran dikeluarkan, kempen kesedaran awam dan latihan amal tsunami diadakan secara berterusan.
Selanjutnya, berkenaan rancangan membawa balik rakyat dan pelajar Malaysia.
Kerajaan telah bersetuju supaya rakyat Malaysia yang terjejas akibat kejadian bencana di Jepun akan dibawa pulang menggunakan perkhidmatan pesawat Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) yang telah pun saya terangkan awal-awal tadi.
Berkenaan dengan perkara yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Tawau, kerajaan masih mengkaji keperluan tenaga nuklear sebagai salah satu opsyen penjanaan tenaga elektrik, mengambil kira insiden ketidakstabilan loji nuklear di Jepun disebabkan oleh gempa bumi baru-baru ini. Kerajaan juga sedang memperincikan rancangan jangka pendek dan jangka panjang yang mengambil kira pelbagai aspek infrastruktur seperti yang disyorkan oleh Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA).
Untuk rancangan jangka pendek, tumpuannya adalah pada pelaksanaan kajian terperinci oleh juru perunding antarabangsa yang berpengalaman dalam projek-projek loji jana kuasa nuklear. Saya juga ingin berterima kasih kepada Yang Berhormat Pasir Mas atas peringatan dan nasihat yang diberikan oleh beliau agar kita tidak terpesong dari akidah. Memandangkan masa yang tidak mengizinkan, kerajaan akan meneliti dan mengkaji cadangan berkenaan...
Puan Fong Po Kuan - Batu Gajah
Minta penjelasan, satu soalan Yang Berhormat.
Dato’ Sri Anifah bin Aman
Ya.
Puan Fong Po Kuan - Batu Gajah
Terima kasih Yang Berhormat.
Perkembangan yang berlaku di Jepun ini melibatkan banyak isu dan banyak kementerian antaranya Kementerian Kesihatan, Kementerian Tenaga, Kementerian Sains dan Teknologi dan kementerian Yang Berhormat. Apakah pihak Kabinet bercadang mengadakan satu jawatankuasa khas untuk memantau perkembangan ini dan menyebarkan maklumat yang tepat kepada orang ramai melalui SMS, meminta syarikat telekomunikasi menjalankan corporate social responsibility ini sebab Timbalan Perdana Menteri meminta orang ramai jangan percaya kepada SMS yang tidak bertanggungjawab dan tidak menyebarkan SMS yang tidak tepat.
Akan tetapi buat masa ini yang paling penting adalah maklumat yang tepat sebab kita boleh baca negara luar mereka membenarkan telekomunikasi - telah mengecualikan bayaran apabila mereka membuat panggilan ke Jepun. Apakah corporate social responsibility boleh dimainkan oleh syarikat telekomunikasi dalam penyebaran maklumat yang dibekalkan oleh pihak kerajaan. Jawatankuasa dan juga maklumat melalui SMS, dua perkara. Terima kasih Yang Berhormat Menteri.
Dato’ Sri Anifah bin Aman
Terima kasih Yang Berhormat yang prihatin tentang keadaan yang berlaku di Jepun dan juga sekiranya ada bencana-bencana yang kita akan alami, insya-Allah Malaysia terlindung dan kita memang mempunyai satu jawatankuasa khas iaitu MKN atau Majlis Keselamatan Negara dan ianya telah merangkumi agensi-agensi yang berkaitan yang perlu dan setakat ini ianya telah pun berjalan dengan baik dan licin.
Oleh itu tidak ada keperluan lagi untuk kita menubuhkan satu jawatankuasa yang lain dan Majlis Keselamatan Negara ini telah merangkumi yang saya katakan tadi agensi- agensi yang berkaitan dan daripada corporate social responsibility saya juga bersetuju dengan Yang Berhormat agar GLC juga turut hadir ke hadapan untuk turut membantu sekiranya ada keperluan-keperluan atau kekurangan-kekurangan. Ini adalah berdasarkan bahawa rakyat Malaysia begitu prihatin dengan apa yang berlaku dan saya juga minta Yang Berhormat supaya sekiranya ada di antara syarikat-syarikat yang ingin tampil ke hadapan untuk membantu, mereka adalah dialu-alukan dan usaha Yang Berhormat juga saya ucapkan terlebih dahulu terima kasih atas usaha seumpama itu.
Jadi Tuan Yang di-Pertua, maka itu sahaja yang dapat saya jawab pada hari ini dan sekiranya ada juga persoalan-persoalan yang tidak sempat dijawab pada tengah hari ini akan kita kemukakan secara bertulis dan oleh itu Tuan Yang di-Pertua, saya mohon mencadangkan. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Datuk Dr. Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar
Terima kasih Yang Berhormat. Ahli-ahli Yang Berhormat, sekarang saya kemukakan masalah kepada Majlis bagi diputuskan. Masalahnya ialah usul yang dibawa Yang Amat Berhormat Perdana Menteri seperti yang tertera dalam Aturan Urusan Mesyuarat hari ini di bawah Perkara 1 hendaklah disetujukan.
Usul dikemuka bagi diputuskan; dan disetujukan.
Aturan Urusan Mesyuarat dibaca bagi menyambung semula perbahasan yang ditangguhkan atas masalah:
“Bahawa suatu ucapan yang tidak sepertinya dipersembahkan kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, demikian bunyinya:
“Ampun Tuanku, Patik, Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Dewan Rakyat Malaysia di dalam Persidangan Parlimen, memohon ampun mempersembahkan suatu ucapan yang ikhlas daripada Majlis Dewan Rakyat mengucapkan berbanyak- banyak syukur dan menjunjung kasih kerana Titah Ucapan Tuanku semasa membuka Penggal Keempat
Parlimen Yang Kedua Belas.” - 16 Mac 2011] Timbalan Yang di-Pertu
Yang Berhormat, semalam kita sudah menjemput Yang Berhormat Petaling Jaya Selatan dan Yang Berhormat Petaling Jaya Selatan sudah bercakap dua minit. Jadi kita hanya ada satu hari ini sahaja. Jadi melihat ramai lagi Yang Berhormat hendak berucap, jadi saya hadkan kepada 10 minit seorang sahaja Yang Berhormat selepas Yang Berhormat Petaling Jaya Selatan. Ya sila Yang Berhormat.
Tuan Hee Loy Sian - Petaling Jaya Selatan
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Saya ingin sambung perbahasan saya mengenai masalah pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam di PBT. Keadaan monopoli oleh satu syarikat tidak harus diwujudkan di mana ianya bukan sahaja menyebabkan rakyat terpaksa bayar lebih kepada satu pihak malah rakyat juga tidak ada pilihan lain untuk mendapatkan perkhidmatan yang lebih baik.
Sebagai contoh, Syarikat Indah Water yang telah memonopoli kerja pengurusan kumbahan di seluruh Malaysia, rakyat terpaksa bayar kepada Indah Water walaupun perkhidmatannya tidak seberapa sebab hanya syarikat inilah yang diberi kontrak oleh Kerajaan Persekutuan dalam konsesi penswastaan sebelum itu.
Tuan Yang di-Pertua, kerajaan telah meluluskan Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam pada tahun 2007. Ini bermakna Kerajaan Persekutuan telah berhasrat untuk mengambil alih kuasa dari PBT dalam pengurusan sisa pepejal pada bila- bila masa sahaja. Begitu juga meneruskan penswastaan dalam semua pembersihan awam.
Ini amat membimbangkan sebab rakyat akan berdepan dengan satu lagi syarikat monopoli dalam pengurusan sisa pepejal dan beban hidup mereka akan bertambah.
Begitu juga pihak kerajaan tempatan terpaksa membayar kepada satu syarikat sahaja untuk pengurusan semua sisa pepejal. Penswastaan pengurusan sisa pepejal sejak 1995 telah membuktikan bahawa Kerajaan Persekutuan gagal dalam pengurusan ini kerana selama lebih 15 tahun konsep kadar kitar semula di kalangan rakyat dan masyarakat tempatan tidak banyak meningkat. Hanya dapat peningkatan di sekitar 5 peratus. Ini amat jauh daripada sasaran kitar semula sebanyak 22 peratus menjelang tahun 2020 yang ditetapkan oleh Kerajaan Pusat apatah lagi jika dibandingkan dengan negara maju seperti Jepun dengan peratusan kitar semula melebihi 50 peratus.
Pengurusan sisa pepejal di seluruh negara tidak nampak ada apa-apa perubahan yang ketara. Ini adalah disebabkan pemimpin kita tidak mempunyai wawasan yang cukup luas untuk melaksanakan polisi pengurusan sisa pepejal dengan baik. Konsep kitar semula atau recycle tidak dipromosikan kepada rakyat dengan luas dan kegigihan Kerajaan Persekutuan dalam memupuk kesedaran kitar semula ini dilihat oleh rakyat.
Tuan Hee Loy Sian - Petaling Jaya Selatan
Apa yang Kerajaan Persekutuan pentingkan adalah keuntungan syarikat mereka sahaja. Inilah sebabnya saya membantah Kerajaan Persekutuan menswastakan bidang kebajikan rakyat dan mengambil alih pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam dari PBT. Kecenderungan Kerajaan Persekutuan untuk menswastakan pengurusan sisa pepejal boleh dilihat dari pelantikan syarikat tunggal, KUB-Berjaya Enviro Sdn. Bhd. untuk mengurus tapak pelupusan sanitary Bukit Tagar, Selangor.
Walaupun Bukit Tagar ini merupakan tapak pelupusan sanitary yang berteknologi tinggi di mana ia menggunakan teknik pelupusan tertutup dan dapat menjana lebih satu megawatt tenaga elektrik dengan gas methane dari proses pelupusan sampah, tetapi oleh kerana ia dimiliki oleh syarikat swasta, malah pihak PBT mahupun kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan tidak mendapat apa-apa manfaat dalam hal ini. Pihak PBT tidak ada peluang untuk belajar teknologi baru dalam bidang pengurusan sisa pepejal. Rakyat juga tidak boleh memainkan peranan dalam kerja kitar semula dalam pengurusan penghasilan sisa pepejal.
Mengambil negara Taiwan sebagai contoh, dengan pelaksanaan polisi buang dan bayar dan penyerapan konsep kitar semula pada masa yang sama, Taiwan telah berjaya mencapai pengeluaran sampah 720 gram seorang setiap hari iaitu menurun sebanyak 33 peratus berbanding dengan 10 tahun yang lalu. Bukan itu sahaja. Dalam masa 15 tahun, bandar utama Taiwan telah berjaya mencapai kosong incinerator dan kosong tapak pelupusan sampah. Ini bermakna, kerajaan tempatan Taiwan berjaya mengurangkan kuantiti sampah ke 67 peratus dan meningkatkan kadar kitar semula kepada 45 peratus.
Saya hendak tanya Yang Berhormat Menteri berkenaan, berapakah purata pengeluaran sampah bagi setiap warga Malaysia dan peranan KPKT dalam mempromosikan konsep kitar semula?
Tuan Hee Loy Sian - Petaling Jaya Selatan
Kita harus mulakan pelaksanaan polisi pengurusan sisa pepejal yang efektif dari sekarang memandangkan dalam masa kurang daripada 11 tahun, jumlah sisa pepejal akan mencecah 30,000 tan sehari. Kesedaran kitar semula harus diperluaskan di kalangan rakyat. Matlamat negara kita harus menetapkan pada pengurangan 289 tapak pelupusan sisa pepejal yang sedia ada dan bukannya membuka lebih banyak lagi tapak pelupusan untuk menampung penambahan sisa pepejal. Semua ini kita boleh buat dengan adanya hasrat yang bersungguh di kalangan pemimpin Kerajaan Persekutuan. Kerajaan Persekutuan harus bekerjasama dengan pihak PBT dengan cara usaha bersama atau cara kontrak tahunan untuk mendirikan lebih banyak tapak pelupusan sanitary yang berteknologi tinggi. Ini bukan sahaja akan memanfaatkan kerajaan dalam kerja pengurusan sisa pepejal, malah boleh membantu setiap PBT berusaha untuk menguruskan sisa pepejal sendiri.
Dengan ini saya ingin mengulangi pendirian saya bahawa pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam tidak harus dimonopoli oleh syarikat tertentu, malah diswastakan oleh Kerajaan Persekutuan. Kerajaan Persekutuan harus mengambil berat tentang kebimbangan rakyat. Selepas penswastaan pengurusan kumbahan air dan pengurusan air di seluruh negeri, rakyat tidak sanggup lagi menerima penswastaan dan monopoli pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam.
Tuan Yang di-Pertua, di sini saya juga ingin mengulas sedikit tentang rancangan kerajaan untuk membina loji nuklear di Malaysia. Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air telah mengumumkan rancangan untuk membina dua buah loji jana kuasa nuklear.
Mengikut rancangan kerajaan, pembinaan loji akan dimulakan pada tahun 2021 dan kerja- kerja telah pun berjalan pada masa ini. Ini kerana mengikut apa yang dikatakan oleh Yang Berhormat Menteri, mereka mengatakan mereka perlu sepuluh tahun untuk membuat persiapan sebelum loji nuklear dibina.
Walaupun berlakunya kejadian kebocoran radiasi di Fukushima di Jepun baru-baru ini, kerajaan masih hendak meneruskan projek ini seperti mana yang dinyatakan oleh Yang Amat Berhormat Timbalan Perdana Menteri baru-baru ini. Saya amat meragui keputusan kerajaan hendak meluluskan projek yang amat berisiko tinggi ini di mana tahap radiasi yang dilaporkan semalam di Jepun dikatakan adalah 400 kali ganda yang dicatatkan di wilayah utara ibu negara Jepun selepas gempa bumi dan tsunami yang merosakkan loji nuklear di negara itu.
Yang Berhormat Menteri juga mengulas bahawa kementerian sedang membuka tender kepada konsortium antarabangsa untuk mengkaji lokasi dan keselamatan loji.
Mengapa Kementerian masih degil lagi dalam keputusan untuk meneruskan pembinaan loji jana kuasa nuklear ini? Sehandal mana pun pakar nuklear antarabangsa pada hari ini, itu tidak boleh menjamin keselamatan loji dan menjamin tidak akan berlakunya kebocoran radiasi seperti yang berlaku di Jepun yang sebelum itu mereka diberi jaminan, janji oleh kerajaan atas keselamatan loji nuklear. Malah, diberitahu loji tersebut terletak jauh daripada kawasan perumahan. Akan tetapi hari ini apa terjadi kepada mereka? Penduduk dalam lingkungan 20 kilometer terpaksa dipindahkan dan mereka yang tinggal dalam lingkungan 30 kilometer terpaksa tinggal di rumah dan tidak dapat keluar. Sehingga sekarang, negara Jepun tidak dapat pasti tahap radiasi yang bocor. Kebocoran radiasi ini bukan sahaja menjejaskan kesihatan mereka, malah banyak penduduk akan turut terkorban jika ia merebak ke tempat lain.
Yang Berhormat Menteri mungkin akan memberi alasan bahawa Jepun dilanda gempa bumi dan Malaysia tidak. Kerak bumi Malaysia dikatakan tidak akan ada gempa bumi. Walaupun Malaysia bukan terletak di dalam Lingkaran Api Pasifik, ia tidak bermakna bahawa negara kita selamat daripada bencana alam. Plat tektonium di bawah bumi sentiasa bergerak dan kemungkinan akan tiba masanya pada masa hadapan Malaysia turut mendapat malapetaka semula jadi ini.
Mengikut pakar geologi, kegiatan kerak bumi di sekitar Sumatera masih aktif dan telah bertambah tekanan pecahannya sebanyak 9 peratus. Pada tahun 2004, ada sesetengah tempat di negara kita telah dilanda tsunami dan beberapa kawasan di tepi pantai turut mengalami kerosakan. Pernah berlaku di sekitar Banjaran Titiwangsa terutama di Bukit Tinggi menerima kesan gempa bumi dalam magnitud sekitar 344 factor scale.
Malapetaka tidak dapat kita ramal.
Tuan Hee Loy Sian - Petaling Jaya Selatan
Malapetaka boleh berlaku pada bila-bila masa dan di mana sahaja. Kita tidak ada gempa bumi yang dahsyat tetapi bagaimana jika ada serangan musuh atau berlaku kecuaian yang menyebabkan kebocoran radiasi ini? Adakah kita mampu mengendalikan sisa nuklear yang memerlukan kepakaran di mana sisa nuklear ini memerlukan beratus- ratus tahun untuk luput?
Di sini saya ingin menyeru kepada kerajaan supaya lupakan sahaja projek loji tenaga nuklear ini. Negara kita mempunyai banyak lagi tenaga alternatif seperti tenaga diperbaharui (renewable energy) dan energy efficient iaitu kecekapan tenaga untuk dikaji dan dibangunkan. Pemimpin pada hari ini boleh beri jaminan keselamatan loji nuklear tetapi pada 10 tahun atau 20 tahun yang akan datang, dapatkah kerajaan menjamin keselamatan rakyat? Jepun yang mempunyai pengalaman mengendalikan loji nuklear selama lebih 54 tahun juga tidak dapat mengawal kebocoran radiasi. Bagaimana dengan negara kita?
Negara seperti Switzerland dan Thailand telah buat kenyataan bahawa mereka akan cadangkan untuk menghentikan projek untuk loji nuklear. Negara seperti Jerman dan Australia juga sekarang bercadang untuk menghentikan loji nuklear pada masa akan datang. Saya amat hairan...
Dato’ Seri Zahrain Mohamed Hashim - Bayan Baru
Minta laluan sikit.
Tuan Hee Loy Sian - Petaling Jaya Selatan
Tidak payahlah. Buang masa sahaja.
Dato’ Seri Zahrain Mohamed Hashim - Bayan Baru
Hai! I hendak sokong you pun buang masa?
Tuan Hee Loy Sian - Petaling Jaya Selatan
Saya amat hairan kecewa dengan Kerajaan Malaysia kerana sampai sekarang kita tidak ada satu tanda-tanda sistem isyarat kepada warganegara Malaysia. Warga Malaysia di Jepun tengah tunggu arahan bila mereka akan dipindahkan. Mereka tidak dapat maklumat semua ini. Mengapa kita sampai sekarang belum lagi buat satu ketetapan atau hantar kapal terbang untuk ambil balik pulang rakyat Malaysia di Jepun kerana negara seperti Rusia dan China dan negara lain sudah mulai untuk menghantar pulang warga mereka di sana tapi warga Malaysia di sana hendak pulang tapi tidak dapat bayar atau dapat tiket kapal terbang untuk pulang.
So, saya harap Kerajaan Malaysia dapat buat satu ketetapan untuk hantar pulang rakyat Malaysia di Jepun dan pada semalam juga saya dapat berita bahawa bekas Perdana Menteri kita Tun Mahathir kata kita ada pengalaman yang pahit, yang buruk dengan nuklear. Saya hendak tanya Menteri berkenaan apakah pengalaman buruk yang berlaku.
Saya dapati kita ada satu loji nuklear yang kecil yang dikawal oleh Agensi Nuklear Malaysia. Adakah pernah kita mengalami kebocoran seperti yang dinyatakan oleh bekas Perdana Menteri, pengalaman buruk ini apa makna itu. Adakah kita pernah berlaku kebocoran sebelum itu?
Saya juga hendak tanya Kementerian Kesihatan memandangkan sekarang ini barang-barang kita banyak import dari Jepun bagaimana kita hendak kawal barangan itu ke Malaysia. Bagaimana kita ada cara selamat untuk tentukan tahap radiasi barangan yang diimport itu? Kalau kenyataan Yang Berhormat Menteri Kesihatan semalam kata kementerian akan mulakan pada 15 April baru mulakan ada untuk ukur barangan itu berapa tahap radiasi itu. Kenapa hendak tunggu sampai 15 April? Kenapa tidak mulakan sekarang? Kita jangan harap tentang sijil radiasi dari Jepun. Kita ada alat kita sendiri. Kita ada tahap pengukuran, level radiasi ini. Bukan hanya dapat maklumat dari Jepun. So, saya minta Yang Berhormat Menteri Kesihatan beri sedikit maklumat apakah tahap radiasi yang ditentukan atau di tahap yang dikatakan tidak boleh diimport ke Malaysia barangan itu.
Berapa level yang dibenarkan tahap radiasi itu?
Saya memang harap saya ingin minta wakil rakyat dalam Dewan ini tidak kira apa parti pun sama-sama menolak rancangan kerajaan dalam usaha pembinaan loji penjanaan nuklear. Saya menyeru Kerajaan Pusat adakan satu referendum atau pungutan suara bagi rakyat untuk menentukan sama ada mereka setuju atau tidak setuju kita adakan loji nuklear ini kerana kita perlu kembalikan hak ini kepada rakyat kerana rakyat yang akan menghadapi masalah ini kalau kebocoran radiasi berlaku, rakyat akan menghadapinya bukan kerajaan.
Tuan Hee Loy Sian - Petaling Jaya Selatan
So, saya harap kerajaan menimbang semula rancangan mereka untuk membangunkan jana kuasa nuklear ini. Tuan Yang di-Pertua...
Timbalan Yang di-Pertua - Datuk Dr. Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar
Yang Berhormat ada dua minit lagi ya.
Tuan Hee Loy Sian - Petaling Jaya Selatan
Baiklah, okey. Tuan Yang di-Pertua, isu ketiga yang saya ingin bangkitkan adalah mengenai konsesi tol lebuh raya NPE. Lebuh raya New Pantai Expressway (NPE) telah mula beroperasi sejak tahun 2004 walaupun mendapat bantahan kuat dari penduduk di kawasan itu. Penduduk-penduduk Taman Medan dan Taman Dato’ Harun kecewa terhadap Plaza Tol PJS 2 disebabkan kehidupan harian mereka terganggu semenjak plaza tol itu dibina di sebelah kawasan rumah. Mereka terpaksa menggunakan lebuh raya ini dan terpaksa membayar tol setiap hari untuk kerja rutin mereka.
Bayangkanlah kos yang terpaksa rakyat setempat tanggung untuk laluan mereka pergi kerja dan pulang ke rumah. Setiap hari mereka terpaksa menggunakan lebuh raya itu sebanyak dua kali. Bukan itu sahaja, jalan utama sekitar kawasan perumahan mengalami kesesakan setiap hari akibat kenderaan mengambilnya sebagai jalan alternatif untuk mengelakkan pembayaran tol terutamanya pada waktu puncak sebelah pagi dan petang. Ini telah mengganggu kehidupan seharian penduduk setempat dan keselamatan mereka lori dan kenderaan berat turut melalui kawasan perumahan dan menjadikan penduduk setempat diancam risiko besar berlakunya kemalangan.
Walaupun kerajaan telah memansuhkan kutipan tol di Plaza Tol PJS 2 menghala ke Kuala Lumpur pada tahun 2009 tapi ini langsung tidak memberi manfaat kepada penduduk setempat. Mereka masih terpaksa bayar tol setiap hari untuk lalu ke tempat kerja mereka. Penduduk terus mendesak supaya Kerajaan Persekutuan dapat membuat keputusan yang bijak untuk memansuhkan Plaza Tol PJS 2...
Timbalan Yang di-Pertua - Datuk Dr. Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar
Ya, masa Yang Berhormat sudah habis Yang Berhormat.
Tuan Hee Loy Sian - Petaling Jaya Selatan
Gulung, gulung.
Timbalan Yang di-Pertua - Datuk Dr. Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar
Yang Berhormat, jangan macam itu Yang Berhormat. Kita sudah bagi 20 minit untuk Yang Berhormat.
Tuan Hee Loy Sian - Petaling Jaya Selatan
So, saya hendak tanya Menteri satu perkataan sahaja berapakah pampasan yang digunakan duit cukai untuk membayar kepada konsesi tol NPE ini untuk pengurangan caj 60 sen di Plaza Tol PJS 2 ini. Sekian, terima kasih.
Beberapa Ahli
[Bangun]
Timbalan Yang di-Pertua - Datuk Dr. Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar
Ya saya minta kerjasama Yang Berhormat bila saya minta Yang Berhormat duduk. Habiskan sentence sahaja saya bagilah. Lepas itu kita kerjasama kerana tengok ramai. Ya Yang Berhormat daripada Sibuti.
Tuan Haji Ahmad Lai bin Bujang - Sibuti
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua kerana memberi peluang kepada saya untuk berbahas Titah Ucapan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
Pada pembukaan rasmi Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di- Pertuan Agong mengatakan modal insan yang berpengetahuan, berkemahiran tinggi, mempunyai minda kelas pertama maka dengan modal insan itu saya merasakan bahawa keperluan untuk sekolah-sekolah di luar bandar di kawasan saya Sibuti haruslah dilihat oleh Yang Berhormat Timbalan Menteri, Yang Berhormat Menteri Pelajaran yang juga Timbalan Perdana Menteri.
Tuan Haji Ahmad Lai bin Bujang - Sibuti
Dan saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada mereka kerana mereka telah pun turun padang ke kawasan saya terutama sekali Yang Amat Berhormat Perdana Menteri di mana beliau telah meluluskan jalan-jalan raya dan juga jambatan-jambatan. Dengan ada kelulusan ini maka dapatlah ibu bapa nanti menghantar anak-anak mereka ke sekolah dengan baik dan melintasi sungai-sungai dengan jambatan yang baik. Insya-Allah ia dijalankan oleh pihak Askar Melayu Diraja atas bantuan jiwa murni.
Baru-baru ini Yang Amat Berhormat Timbalan Perdana Menteri pergi ke kawasan saya Batu Niah. Rakyat sangat gembira kerana inilah kali pertamanya Yang Amat Berhormat Timbalan Perdana Menteri yang nombor dua di dalam negara kita pergi ke kawasan Batu Niah. Walaupun kita sudah merdeka lebih kurang 50 tahun inilah kali pertama rakyat melihat batang tubuh... [Ketawa] Yang Amat Berhormat Timbalan Perdana Menteri kerana kawasan ini adalah kawasan jauh di luar bandar. Hanya benar-benar perasaan hendak melihat keadaan di luar bandar ada pada Menteri-menteri ataupun Timbalan-timbalan Menteri.
Susulan yang dibuat oleh Yang Berhormat Timbalan Menteri Pelajaran Dr. Haji Mohd. Puad bin Zarkashi telah pun hadir dan melawat lebih kurang 12 sekolah di kawasan saya telah meluluskan untuk dipertimbangkan beberapa sekolah untuk dibina baru ataupun untuk dibaik pulih agar anak-anak sekolah di luar bandar dapat pelajaran yang baik dan juga rumah-rumah kediaman guru-guru di mana mereka diami lebih kurang tiga orang dalam satu bilik akan diberi perhatian penuh oleh Yang Berhormat Timbalan Menteri Pelajaran dan mengharapkan Menteri Pelajaran Yang Amat Berhormat Timbalan Perdana Menteri kita juga akan meluluskan apa yang kita laporkan kepada Yang Berhormat Timbalan Menteri Pelajaran.
Tuan Haji Ahmad Lai bin Bujang - Sibuti
Rakyat di kawasan Sibuti setelah dilawat oleh Timbalan Perdana Menteri dan juga Menteri-menteri yang selalu hendak melawat kawasan saya sangat gembira kerana kedatangan Menteri memberikan beberapa kemudahan untuk rakyat di kawasan saya terutama sekali luar bandar. Ini kerana apa yang kita dengar, ucapan-ucapan Yang Berhormat-Yang Berhormat di sebelah sana mengatakan luar bandar Sarawak ini selalu mempunyai kekayaan yang lebih. Mengapa masih banyak sekolah tidak mempunyai bangunan yang cantik-cantik, yang cukup untuk pelajar-pelajar kita.
Akan tetapi oleh kerana negeri Sarawak itu kalau tolak sahaja negeri Melaka, maka kita adalah sama besar dengan Semenanjung Malaysia. Kita harap dengan adanya lawatan-lawatan Menteri Pelajaran dan Timbalannya, dapatlah modal insan di luar bandar menjadi modal insan yang berguna dan berjaya di masa hadapan. Kita juga mengharapkan sekolah berasrama penuh akan diberi kepada empat sekolah yang ada di luar bandar supaya dapat anak-anak kita yang kurang kemampuan, dapat duduk di asrama dan dapat belajar dengan baik.
Saya juga mengambil kesempatan ini Tuan Yang di-Pertua, untuk mengucapkan terima kasih kepada kerajaan dan juga Menteri Kesihatan dengan lawatan beliau yang singkat di Klinik 1Malaysia, di Kampung Taman Tengku, Miri. Dapat juga kita menambahkan satu lagi klinik bersebelahan iaitu klinik ibu dan anak, agar ia dapat dipercepatkan seperti apa yang diluluskan oleh Yang Berhormat Menteri Kesihatan. Saya mengharapkan Timbalan Menteri Kesihatan datang juga melawat ke kawasan saya, agar dapat melihat bahawa alat-alat di klinik-klinik itu adalah alat-alat yang lama, kadang-kadang tidak berfungsi. Kalau boleh kita minta ia diperbaharui dan juga dengan alat-alat yang canggih yang ada pada masa ini.
Kesempatan ini juga Tuan Yang di-Pertua, saya berterima kasih kepada Yang Berhormat Menteri Belia dan Sukan kerana beliau datang sendiri untuk melihat gelanggang sukan futsal di kawasan saya dan bermain sukan bersama belia di sana, yang menaikkan semangat belia di kawasan luar bandar untuk beriadah. Terima kasih kita ucapkan kepada semua kakitangan Kementerian Belia dan Sukan yang bekerjasama dengan kita.
Saya juga mengambil kesempatan ini untuk mengatakan terima kasih kepada kerajaan kerana pihak polis telah dapat mengurangkan jenayah di kawasan luar bandar seperti kawasan saya.
Tuan Haji Ahmad Lai bin Bujang - Sibuti
Kita mengharapkan bahawa Kementerian Dalam Negeri ini memberi kita kenderaan untuk mereka menjalankan tugas, bukan menghantar kereta kancil ataupun kereta waja. Kalau boleh dihantarkan kereta yang mempunyai four wheel drive, dengan izin, pacuan empat roda...
Timbalan Yang di-Pertua - Datuk Dr. Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar
Ada satu minit lagi Yang Berhormat.
Tuan Haji Ahmad Lai Bujang - Sibuti
Ya, terima kasih. Ramai lagi Menteri yang melawat kawasan saya ini, yang telah memberi kemudahan kepada luar bandar termasuk Menteri KPDNKK dan juga Menteri-menteri yang lain. Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, juga Menteri-menteri lain, agar kami di luar bandar benar-benar merasakan apa yang di rasa oleh orang-orang di bandar untuk menikmati apa kemudahan- kemudahan di bandar. Kita mengharapkan juga rakyat di kawasan yang lain yang datang ke kawasan kita, janganlah mereka untuk mengatakan perkauman yang tidak pernah ada di kawasan kita, di Sarawak ataupun di kawasan saya Sibuti, oleh kerana mereka dari awal dahulu sudah menjadi rakyat 1Malaysia berbilang kaum.
Timbalan Yang di-Pertua - Datuk Dr. Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar
Baik Yang Berhormat.
Tuan Haji Ahmad Lai bin Bujang - Sibuti
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua saya mohon menyokong.
Timbalan Yang di-Pertua - Datuk Dr. Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar
Tahniahlah Yang Berhormat. Banyak batang tubuh Menteri sudah dilihat... [Ketawa]
Dato’ Shamsul Anuar bin Haji Nasarah - Lenggong
[Bangun]
Timbalan Yang di-Pertua - Datuk Dr. Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar
Yang Berhormat Kota Kinabalu. Saya hendak bagi orang yang tunggu sampai pukul 8.30 malam semalam Yang Berhormat.
Dr. Hiew King Cheu - Kota Kinabalu
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Timbalan Yang di-Pertua - Datuk Dr. Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar
Ini bukan, kasihan lihat yang berdiri selalu sangat.
Dr. Hiew King Cheu - Kota Kinabalu
Memang ada kasihan sedikitlah... [Ketawa] Terima kasih. Tuan Yang di-Pertua, kita di Sabah menghadapi pelbagai masalah. Memang benar bahawa kita diketepikan, diabaikan dan kadang-kadang telah dilupa oleh Kerajaan Persekutuan. Masalah-masalah yang dihadapi oleh Sabah telah menjadikan Sabah dikenali sebagai negeri termiskin di Malaysia.
Ini telah ditunjuk jelas, Sabah mempunyai kemiskinan tertinggi pendapatan tahunan yang sangat rendah, perkembangan industri terbelakang, pekerja tempatan kita kerja di luar negeri. Golongan profesional yang tidak cukup pelaburan asing dan kekurangan pertumbuhan ekonomi. Walaupun Sabah kaya dengan sumber minyak dan gas, tetapi dengan hanya 5 peratus diberi kepada Sabah, Sabah tidak dapat membuat perubahan dan kemajuan yang sempurna. Sejak perjanjian Petronas dengan Sabah dibuat lebih kurang 33 tahun dahulu, kita hanya dapat jumlah wang yang sangat kecil iaitu RM5.3 bilion sahaja. Mengapa perjanjian Petronas masih tidak dikaji semula?
Masalah-masalah pendatang asing di Sabah telah berkembang menjadi salah satu situasi love and hate situation, dengan izin. Kita tidak mahu mereka datang ke negeri kita untuk memberi masalah bagi kami, membawa wang kami ke luar negeri, merompak rakyat kita, merogol gadis-gadis kami, mencuri dari kami, membuat masalah sosial, mengedar dadah dan membuat kejahatan. Ladang-ladang kami di Sabah sangat bergantung kepada kekuatan tenaga pekerja asing dan jumlah pekerja asing hampir 700,000. Ada yang mempunyai dokumen dan ada yang tidak. Saya minta kerajaan supaya menubuhkan Suruhanjaya Diraja untuk mengkaji masalah PATI dan mencari jalan untuk mengatasi masalah yang dihadapi oleh Sabahan sepanjang masa ini.
Dr. Hiew King Cheu - Kota Kinabalu
Tuan Yang di-Pertua, sebenarnya kami di Sabah menghadapi situasi dalam pengeluaran makanan dan mencapai food security, dengan izin. Kami telah banyak dengar bahawa Kerajaan Persekutuan akan memberi keutamaan pengeluaran makanan terutama dalam projek padi jelapang di Kota Belud dan Kota Marudu. Akan tetapi hingga hari ini kita belum nampak apa-apa pembangunan dan peningkatan bagi pengeluaran padi setakat ini.
Kami masih bergantung kepada beras import.
Dr. Hiew King Cheu - Kota Kinabalu
Apa yang terjadi jika makanan import dihentikan kerana masalah tertentu? Di antara masalah yang dihadapi oleh penduduk Sabah adalah infrastruktur yang buruk dan kekurangan dan semua pun tahu situasi itu. Kami masih mempunyai banyak projek jalan raya di bawah RMKe-9 yang belum bermula membina dan masih menunggu peruntukan dari persekutuan.
Banjir di seluruh Sabah yang tidak dapat diselesaikan dan selain daripada masalah banjir sentiasa di Beaufort, sekarang kita boleh lihat di kawasan Sandakan, Lahad Datu, Tawau, Kota Marudu dan Kota Kinabalu juga menghadapi banjir. Banyak aset hilang dan nyawa pun turut hilang. Demi segi perkembangan industri kerajaan tidak mengambil berat dan usaha untuk menggalakkan pelabur asing datang ke Sabah untuk melabur di industri kita yang berpotensi untuk mendapat keuntungan tinggi seperti minyak sawit, kayu, minyak mentah dan gas dan banyak sumber kaya alam yang lain. Kerajaan harus membantu untuk menjemput pelabur asing untuk datang ke Sabah dengan cara memberikan insentif hak istimewa pembebasan cukai dan tanah percuma jika diperlukan.
Apa yang paling penting adalah untuk mendapatkan bekalan tenaga dan air yang cukup untuk menyokong industri. Sampai saat ini kita masih memiliki bekalan tenaga yang sering tergendala dan kekurangan air di bandar-bandar di Sabah. Cabotage Policy merupakan halangan besar bagi pembangunan industri dan ini bukan hanya menghalang dan menghentikan pelabur asing industri untuk datang ke Sabah tetapi mempengaruhi harga barangan. Tibalah masa kerajaan harus membincangkan kembali dasar ini dan cari jalan yang lebih layak. Saya menyokong kenyataan yang dibuat oleh Tan Sri Simon Sipaun atas situasi Sabah dahulu dan sekarang. Memang dia berani membuat kenyataan dan ini adalah sesuatu yang kami di Sabah turut mengalu-alukan...
Datuk Bung Moktar bin Radin - Kinabatangan
Minta penjelasan.
Tuan Hiew King Cheu - Kota Kinabalu
Nanti, nanti habis dahulu 10 minit.
Datuk Bung Moktar bin Radin - Kinabatangan
Pasal itu Sabah.
Tuan Hiew King Cheu - Kota Kinabalu
Nanti, nanti. Kita...
Datuk Bung Moktar bin Radin - Kinabatangan
Yang Berhormat cakap bohonglah.
Tuan Hiew King Cheu - Kota Kinabalu
Kita sekurang-kurangnya...
Datuk Bung Moktar bin Radin - Kinabatangan
Dahulu Sabah sengsara, sekarang Sabah senang.
Tuan Hiew King Cheu - Kota Kinabalu
Lima belas tahun ke belakang bila dibandingkan dengan Semenanjung. Kampung kami masih merupakan kampung yang ketinggalan selepas 48 tahun di Malaysia.
Datuk Bung Moktar bin Radin - Kinabatangan
Yang Berhormat, jangan buat ucapan temberang.
Timbalan Yang di-Pertua - Datuk Dr. Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar
Yang Berhormat, Yang Berhormat, yang mana satu Yang Berhormat?
Tuan Hiew King Cheu - Kota Kinabalu
Kampung di Semenanjung sudah berubah menjadi bandar dan menjadi pusat industri dan pelancongan. Kami mengalami segala kekurangan dan memerlukan banyak dana peruntukan untuk pembangunan.
Tuan Hiew King Cheu - Kota Kinabalu
Dengan ini saya berharap para pemimpin persekutuan boleh membuat perbincangan bersama dan fikir secara mendalam sama ada Sabah diberi bantuan atau tidak. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Datuk Dr. Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar
Yang Berhormat Labuan.
Datuk Haji Yusof Haji Mahal - Labuan
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua memberi ruang untuk Labuan turut berbahas. Walaupun hari ketiga berdiri Alhamdulillah diberi 10 minit. Pertama sekali saya ingin memanjatkan kesyukuran terhadap Allah SWT kerana kita masih dapat berada di Dewan yang mulia ini untuk melaksanakan tanggungjawab kita kepada negara selaku wakil rakyat di dalam keadaan negara yang makmur, aman dan selamat. Betapa pentingnya kita menyahut harapan Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong yang telah meneruskan usaha mengekalkan kesejahteraan negara di bawah Gagasan 1Malaysia yang terbukti berhasil mendorong rakyat ke arah peningkatan semangat kesatuan dan juga berpadu di dalam menggembleng tenaga untuk menghasilkan pencapaian yang lebih baik di dalam pelbagai bidang, alhamdulillah...
Datuk Bung Moktar bin Radin - Kinabatangan
Boleh mencelah sedikit Yang Berhormat Labuan?
Datuk Haji Yusof Haji Mahal - Labuan
10 minit bah.
Datuk Bung Moktar bin Radin - Kinabatangan
Sedikit sahaja.
Datuk Haji Yusof Haji Mahal - Labuan
Okey, okey.
Datuk Bung Moktar bin Radin - Kinabatangan
Terima kasih Yang Berhormat Labuan. Saya ingin meminta Yang Berhormat Labuan sebab tadi Yang Berhormat Labuan berkata negara kita aman, makmur, selamat. Kenyataan daripada Yang Berhormat Kota Kinabalu tadi menyatakan bahawa Sabah lebih baik. Ini termasuklah Labuan semasa musim Kerajaan British dahulu. Sedangkan sewaktu British dahulu, pada zaman Jepun dahulu, kita ditindas makan pun tidak ada. Hari ini Labuan membangun, Sabah membangun...
Tuan Khalid Abd. Samad - Shah Alam
[Bangun]
Datuk Bung Moktar bin Radin - Kinabatangan
Akan tetapi tidak tahulah kenapa pembangkang memutarbelitkan termasuk Yang Berhormat Shah Alam. Inilah putar belit, raja putar belit tetapi saya rasa rakyat Sabah dan Labuan tidak akan termakan dengan putar belit pembangkang ini. Minta penjelasan.
Datuk Haji Yusof Haji Mahal - Labuan
Terima kasih Yang Berhormat Kinabatangan. Seperti mana yang kita dengar tadi, hujah daripada pembangkang, daripada Yang Berhormat Kota Kinabalu yang menyatakan yang Sabah lebih mundur berbanding dengan tahun-tahun yang lalu. Kalau kita lihat pembangunan di Kota Kinabalu sendiri jauh lebih membangun berbanding dengan waktu-waktu yang sudah. Jadi inilah satu pembangunan yang diberikan oleh kerajaan. Oleh itu..
Tuan Khalid Abd. Samad - Shah Alam
Minta maaf Tuan Yang di-Pertua...
Datuk Haji Yusof Haji Mahal - Labuan
Waktu 10 minit, waktu 10 minit, minta maaf.
Tuan Khalid Abd. Samad - Shah Alam
Tidak betul.
Datuk Haji Yusof Haji Mahal - Labuan
I tidak bagi Tuan Yang di-Pertua.
Tuan Khalid Abd. Samad - Shah Alam
Tidak, dia kata berbanding dengan tahun-tahun sebelum. Dia kata berbanding dengan Semenanjung, ada beza. Putar belit ini Tuan Yang di-Pertua.
Datuk Haji Yusof Haji Mahal - Labuan
Saya rasa saudara pembangkang untuk memburukkan kerajaan jelas. Ini adalah motif-motif politik yang kita lihat seperti mana yang kita lihat sekarang. Apa pun dibangunkan oleh kerajaan mereka tetap tidak akan menyokong. Itulah keadaan pembangkang yang sebenarnya. Jadi kita harus sedar walaupun kekuatan tidak di Sabah dan juga di Labuan, insya-Allah kita katakan kekuatan sokongan rakyat di Labuan dan juga di Sabah walaupun esok pilihan raya, insya-Allah kita akan menang... [Tepuk] Tuan Yang di-Pertua, bukti ekonomi Malaysia kembali kukuh dengan pertumbuhan pesat pada kadar 7.2 peratus pada tahun 2010 berbanding dengan penguncupan 1.7 peratus pada tahun-tahun yang sebelumnya. Ini adalah petanda bahawa kerajaan kepimpinan negara sekarang berada pada landasan yang tepat. Begitu juga negara-negara luar yang bukannya tergolong di dalam senarai negara pelabur asing terbesar di negara kita seperti China dan juga Australia kini telah kembali melihat Malaysia sebagai potensi pelaburan hasil daripada keadaan peningkatan pertumbuhan ekonomi kita dan juga kestabilan politik yang dipimpin oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd. Najib bin Tun Abdul Razak.
Percayalah kemajuan dan kesejahteraan yang kita capai pada hari ini tidak akan tercapai seandainya melainkan ia adalah hasil usaha digembleng oleh Kerajaan Barisan Nasional selama ini dan kesediaan rakyat dalam perpaduan bersama melalui proses transformasi tersebut. Sememangnya terbukti sudah Gagasan 1Malaysia berjaya menyemarakkan lagi semangat perpaduan di kalangan rakyat dan menjadi satu gagasan yang menjana transformasi secara menyeluruh sekali gus menyuburkan lagi sistem demokrasi di negara kita ini.
Insya-Allah faktor ini kenapa kita yakin dan percaya gerakan solidarity dan juga revolusi rakyat yang tercetus di beberapa negara di Timur Tengah kebelakangan ini tidak akan sampai atau tidak akan tertempias datang ke negara ini kerana hakikat wujudnya good governance dan juga suburnya sistem demokrasi yang kita amalkan selama ini.
Tuan Yang di-Pertua, menyentuh mengenai modal insan yang berpengetahuan, berkemahiran tinggi dan juga mempunyai minda kelas pertama sebagaimana yang dititahkan oleh Baginda. Amatlah benar dan tepat bahawa transformasi pendidikan kini perlu dilaksanakan seiring dengan Gagasan 1Malaysia bagi melahirkan generasi harapan bangsa yang bersedia untuk menghadapi cabaran lengkap dengan kecergasan fizikal, keikhlasan mental dan juga kekuatan mental.
Kewarasan akal Malaysia yang progresif memerlukan anak muda yang kental, berkebolehan dan juga berkeupayaan tinggi di dalam mengurus kepelbagaian serta berani mengambil risiko yang tinggi. Dalam usaha kerajaan membangun, apa yang dikatakan human capital, dengan izin, iaitu modal insan di Labuan juga banyak pusat pendidikan telah diwujudkan. Antaranya Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan, Kolej Matrikulasi Labuan, Sekolah Menengah Sains Labuan, Sekolah-sekolah Antarabangsa atau Labuan International School, sekolah-sekolah menengah, sekolah-sekolah rendah dan yang terbaru adalah sekolah menengah agama yang baru kita peroleh.
Saya mohon kerajaan memberikan pertimbangan terhadap permohonan warga Labuan agar dapat menjadikan Labuan sebagai sebuah pusat kecemerlangan pendidikan dengan menubuhkan sebuah universiti penuh iaitu dengan menaiktarafkan status kampus universiti Malaysia Sabah, kampus antarabangsa Labuan yang sedia ada. Insya-Allah, saya yakin dan percaya dengan adanya sebuah universiti awam penuh di Labuan yang memberikan tumpuan kepada pengajian di dalam bidang minyak dan gas serta bidang pengajian maritim yang akan dapat merancakkan lagi pertumbuhan dan juga perkembangan ekonomi serta pelancongan di Labuan.
Datuk Haji Yusof Haji Mahal - Labuan
Kewujudan full fledge university ini nanti akan dapat mengoptimumkan guna tenaga kerja dan juga generasi muda Labuan yang mana mereka akan dapat menimba ilmu di universiti, dan Labuan juga seiring dengan punca utama ekonomi rakyat Labuan, iaitu di dalam industri gas dan minyak lebih-lebih lagi Wilayah Persekutuan Labuan bakal dinaik taraf menjadi hab minyak dan gas yang ketiga di negara ini.
Datuk Haji Yusof Haji Mahal - Labuan
Ini telah pun diumumkan dan dinyatakan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri sewaktu lawatan beliau ke Labuan pada 26 hari bulan yang lalu, alhamdulillah.
Mengenai dengan kepentingan sub sektor pertanian di dalam menjana pendapatan dan menjamin bekalan makanan negara ataupun National Food Security, apakah terdapat monitoring programme terhadap dasar Agro Makanan 2011-2020 yang digubal bagi meningkatkan pengeluaran makanan negara, kerana sehingga kini statistik menunjukkan hal yang sebaliknya.
Contohnya menurut statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Haiwan dan Ternak Negeri Sabah pada tahun 2004, pasaran daging import bagi Sabah dan Labuan mencatatkan peningkatan sebanyak 7 peratus-12 peratus setahun. Dengan nilai dagang import daging pada tahun 2004 adalah sebanyak RM215 juta. Pada tahun 2006 jumlah import daging Sabah dan Labuan adalah sebanyak 23 juta kilogram setahun dengan purata 63,000 kilogram ataupun 63 tan per hari. Anggaran ini dagangan import adalah sebanyak RM260 juta, manakala pada tahun 2008 jumlah daging import Sabah dan Labuan dicatatkan meningkat sebanyak 15.2 peratus iaitu sebanyak 26,500,000 kilogram setahun dengan purata 72,600 kilogram ataupun 72 tan per hari, iaitu kira-kira 220 ekor kalau kita bandingkan dengan pemotongan daging lembu dengan jumlah penyembelihan tahunan sebanyak 80,303 ekor.
Anggaran nilai import terhadap produk daging pada tahun 2008 adalah sebanyak RM310 juta. Ingin saya lontarkan persoalan, berapakah kadar penghasilan sendiri negara terhadap produk berasaskan daging dan apakah program atau usaha berterusan kementerian bagi mengurangkan kebergantungan negara terhadap produk daging luar ataupun imported beef, dengan izin. Saya percaya paten peningkatan kadar import ini akan terus meningkat dan menjelaskan kepada kita bahawa negara kita masih gagal di dalam menangani isu kebergantungan bahan makanan import lebih-lebih lagi di dalam industri daging.
Timbalan Yang di-Pertua - Datuk Dr. Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar
Satu minit lagi Yang Berhormat.
Datuk Haji Yusof Haji Mahal - Labuan
Sedikit mengembalikan – yang mana salah satu daripada masalah negara yang kita lihat hari ini.
Timbalan Yang di-Pertua - Datuk Dr. Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar
Yang Berhormat Labuan, seminit lagi.
Datuk Haji Yusof Haji Mahal - Labuan
Ya, saya gulung Tuan Yang di-Pertua.
Jadi kalau kita lihat Wilayah Persekutuan Labuan juga mempunyai banyak kawasan pelancongan, jadi kita harapkan Kementerian Pelancongan dapat melihat apakah potensi- potensi pelancongan yang dapat kita buat di Labuan.
Menyentuh dengan negara maju, penambahan pembaikan dan juga peningkatan infrastruktur pengangkutan dan juga perhubungan yang terus dilaksanakan di Labuan, bidang maritim contohnya, industri pelancongan, industri minyak dan gas adalah antara yang boleh dimajukan dan dimasukkan ke dalam program ETP di Wilayah Persekutuan Labuan.
Saya menyarankan agar kerajaan menghidupkan kembali cadangan untuk pembinaan sebuah integrated port ataupun pelabuhan bersepadu di Labuan yang mampu memberikan impak yang cukup besar kepada ekonomi di Wilayah Persekutuan Labuan.
Dalam pada itu juga kita menuntut bantuan dan juga galakan daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan bagi perkara ini adalah amat mendukacitakan yang Labuan sebagai berstatus pulau bebas cukai, malangnya harga barang di Labuan masih cukup tinggi.
Oleh itu Tuan Yang di-Pertua, perlulah diingatkan bahawa di dalam kita berusaha untuk mencapai status negara maju, berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020, kita harus terus bersatu di dalam mendukung Gagasan 1Malaysia yang diinspirasikan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri kita, membolehkan kita memenuhi perbagai cabaran dan juga masa depan yang lebih baik di masa akan datang, sekian saya juga turut menyokong. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Datuk Dr. Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar
Ya, Kuala Selangor.
Dr. Dzulkefly Ahmad - Kuala Selangor
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua...
Timbalan Yang di-Pertua - Datuk Dr. Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar
Di samping memberi peluang semua parti, jadi saya kena lihat juga selepas ini PKR, selepas itu DAP dan selepas itu PAS, kena giliran sendiri Yang Berhormat.
Dr. Dzulkefly Ahmad - Kuala Selangor
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, tinggal 10 minit sahaja untuk saya. Tuan Yang di-Pertua, dengan 10 minit ini saya bercadang untuk memberikan fokus tentang demokrasi. Betapa dalam suasana hari ini Tuan Yang di-Pertua, kita semakin mengecap satu kematangan dan pendewasaan demokrasi yang jelas menunjukkan satu peralihan, amalan dan landskap politik yang sebenarnya membawa satu pencerahan, pemugaran amalan demokrasi. Ini cukup memberikan satu keyakinan, ia telah berlalu apa yang dikatakan era lama, order lama di mana apa yang dikatakan oleh sains politik, one dominant party system. Justeru kerana itu, kadangkala kita menyaksikan keadaan yang begitu lemas, rimas, cemas oleh pihak sebelah sana sebab mereka tidak mahu merungkaikan kuasa hegemonic itu terhadap politik di negara ini.
Itulah Tuan Yang di-Pertua yang saya sifatkan sebagai lahirnya satu politik yang sebenarnya memberikan kesegaran dalam amalan yang mirip kepada politik parti dua sistem di negara Barat seumpama Democrat lawan Republican di Amerika dan juga Labour lawan Conservative di United Kingdom dan sebagainya.
Tuan Yang di-Pertua, inilah...
Datuk Abd. Rahman Dahlan - Kota Belud
Boleh mencelah? Party system...
Dr. Dzulkefly Ahmad - Kuala Selangor
Inilah yang kita harapkan, Tuan Yang di- Pertua, ada sepuluh minit sahaja, janganlah diganggu oleh Yang Berhormat Kota Belud ini.
Timbalan Yang di-Pertua - Datuk Dr. Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar
Yang Berhormat, tak payahlah Yang Berhormat.
Dr. Dzulkefly Ahmad - Kuala Selangor
Kalau saya ada setengah jam, saya boleh izinkan.
Timbalan Yang di-Pertua - Datuk Dr. Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar
Itu terpulang pada saya.
Dr. Dzulkefly Ahmad - Kuala Selangor
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Dia sahaja hendak kacau saya punya train of thought sebenarnya. Justeru kerana itu Tuan Yang di-Pertua, inilah yang kita harapkan, inilah politik baru yang sebenarnya rakyat perlu jaga dengan segala cemburunya. Oleh kerana itu tidak akan ada kuasa-kuasa wenangan dan mutlak secara itu. Bukan pada BN dan tidak juga kepada Pakatan Rakyat, inilah dia ketika mana rakyat benar-benar menjadi bos, tuan dan pemilik demokrasi yang sebenarnya.
Tuan Yang di-Pertua, inilah kita harap-harapkan seperti mana yang sejajar dengan Titah Ucapan Yang di-Pertuan Agong, yang menyebutkan pentingnya kita bersama, menjaga apa yang dikatakan sebagai menjunjung kedaulatan undang-undang dan keluhuran perlembagaan. Kedaulatan Raja-raja Melayu, kedudukan Islam sebagai agama bagi persekutuan dan kedudukan istimewa orang Melayu serta anak-anak negeri Sabah dan Sarawak serta kepentingan sah legitimate right, kaum-kaum lain meliputi hal-hal kewarganegaraan dan hak asasi dan sebagainya.
Ini adalah rule of law Tuan Yang di-Pertua, dan kita mengharapkan sangat-sangat akan terus dapat kita saksikan, perkara ini akan dapat kita perkasakan dari semasa ke semasa.
Dr. Dzulkefly Ahmad - Kuala Selangor
Dalam nafas itu juga Tuan Yang di-Pertua, ditampilkan dalam persaingan ini, dalam membawa persaingan yang sihat ini ketika mana sebelah sana kerap mengecam kami, “Pembangkang hanya pandai berucap tapi tidak membawa apa-apa penyelesaian”, ketika itulah kita menampilkan apa yang dikatakan sebagai Buku Jingga kami. Buku Jingga kami yang atas sifat Buku Jingga itu pun mereka sudah rasa cemas, resah...
Datuk Abd. Rahman Dahlan - Kota Belud
Mana ada cemas Yang Berhormat...
Dr. Dzulkefly Ahmad - Kuala Selangor
Tuan Yang di-Pertua, inilah dia respons kami sebagai menampilkan satu penyelesaian kepada negara yang kerap dan sedang dan seterusnya mendepani segala pelbagai kemelut, krisis yang berpanjangan, sama ada dari sudut ekonomi, sama ada dari segi kebejatan pengurusan yang tempang dan bobrok juga lebih utama daripada itu, kami menampilkan dalam 100 hari, 10 program reformasi yang tidak pun memakan lebih daripada RM19 bilion Tuan Yang di-Pertua...
Datuk Abd. Rahman Dahlan - Kota Belud
Ha, itu tidak betul, itu mengelirukan Dewan....
Dr. Dzulkefly Ahmad - Kuala Selangor
Kalau kita ambil daripada apa yang dikatakan sebagai penjimatan, daripada penjimatan RM28 bilion itu yang tiris seperti mana yang dilaporkan oleh Ketua Audit Negara, maka itu sahaja sudah boleh membiayai program reformasi kami dalam 100 hari...
Datuk Abd. Rahman Dahlan - Kota Belud
Peraturan Mesyuarat Tuan Yang di- Pertua...
Dr. Dzulkefly Ahmad - Kuala Selangor
Tuan Yang di-Pertua, kita perlu memberikan ruang dalam persaingan yang sihat...
Datuk Abd. Rahman Dahlan - Kota Belud
Sebanyak RM28 bilion tidak pernah disebut oleh Auditor General.
Dr. Dzulkefly Ahmad - Kuala Selangor
Tuan Yang di-Pertua, inilah dia persaingan yang kami harapkan.
Datuk Abd. Rahman Dahlan - Kota Belud
Itu silap!
Dr. Dzulkefly Ahmad - Kuala Selangor
Di mana pembangkang juga..
Timbalan Yang di-Pertua - Datuk Dr. Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar
Yang Berhormat Kota Belud.
Dr. Dzulkefly Ahmad - Kuala Selangor
Di Dewan Negara ini..
Datuk Abd. Rahman Dahlan - Kota Belud
Fakta yang salah Tuan Yang di- Pertua.
Dr. Dzulkefly Ahmad - Kuala Selangor
Di Dewan Rakyat ini diberikan ruang untuk menampilkan pengesahan-pengesahan kami. Dalam program kami seratus hari itu kalau kita perhatikan utamanya adalah untuk mengembalikan apa yang dikatakan demokrasi yang sihat di mana kami telah tekankan tentang tiadanya akta zalim – to do away with all the draconian laws yang membawa kepada bukan rules of law tetapi law of the rules!
Tuan Yang di-Pertua, justeru kerana itu kami memerhatikan juga bagaimana pendekatan kami yang bersifat untuk memfokus dalam pemerkasaan kepada rakyat yang teramai. Kalau kita perhatikan bagaimana kita menstrukturkan persoalan subsidi. Kita juga sensitif terhadap subsidi ini tetapi subsidi yang kami maksudkan adalah untuk benar-benar menjadi satu yang sifatnya progresif. Memberikan dan memperkasakan 40 peratus rakyat yang hari ini merengkok di bawah pendapatan kurang daripada RM1,500. Kebetulan pula daripada golongan itu 2.4 milion itu kita dapati bahawa sebahagian besarnya 78 peratus peratus itu adalah daripada golongan Melayu bumiputera yang Sabah, Sarawak yang kononnya diperjuangkan nasib mereka oleh Ketuanan Melayu.
Dr. Dzulkefly Ahmad - Kuala Selangor
Tuan Yang di-Pertua, saya sifatkan juga dalam hal-hal yang lain di mana kita menyaksikan juga satu pendekatan untuk menstrukturkan semula program dalam kami itu dalam program yang keenam membuka ladang FELDA Plantation. Ladang FELDA Plantation ini peneroka yang sudah 50 tahun pun Tuan Yang di-Pertua, masih lagi dipanggil peneroka. Orang meneroka ini sekali sahaja. Perintis meneroka, buka hutan dan sebagainya tetapi dalam konteks Barisan Nasional ini Tuan Yang di-Pertua, peneroka sampai mati. Dari segi itulah dalam konteks tentang FELDA Plantation…
Datuk Abd. Rahman Dahlan - Kota Belud
Boleh mencelah Yang Berhormat.
Dr. Dzulkefly Ahmad - Kuala Selangor
Kita mengemukakan penyelesaian- penyelesaian..
Datuk Abd. Rahman Dahlan - Kota Belud
FELDA Plantation.
Dr. Dzulkefly Ahmad - Kuala Selangor
Untuk kami sebenarnya membawa satu pendekatan yang berbeza. Not just doing it better but doing it differently. Justeru kerana itu kami sekali lagi mempertikaikan kedudukan FELDA Plantation apabila kita kembali kepada Akta...
Datuk Abd. Rahman Dahlan - Kota Belud
Boleh Yang Berhormat. Sedikit sahaja mengenai FELDA Plantation.
Dr. Dzulkefly Ahmad - Kuala Selangor
Oleh kerana itu Tuan Yang di-Pertua..
Tidak ada masalah – sorrylah.
Datuk Abd. Rahman Dahlan - Kota Belud
Sedikit sahaja, 10 saat, 15 saat.
Dr. Dzulkefly Ahmad - Kuala Selangor
Kalau Tuan Yang di-Pertua beri 5 minit saya boleh.
Datuk Abd. Rahman Dahlan - Kota Belud
FELDA Plantation sahaja.
Timbalan Yang di-Pertua - Datuk Dr. Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar
Yang Berhormat, itu Yang Berhormat pandang pada saya, interact dengan saya. Pandang sebelah sana Yang Berhormat.
Datuk Abd. Rahman Dahlan - Kota Belud
Saya hendak beritahu FELDA Plantation ini tanahnya merata tempat.
Timbalan Yang di-Pertua - Datuk Dr. Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar
Yang Berhormat Kota Belud. Perbahasan dalam Dewan bukan begitu. Kalau begitu kita bawa pedang sahaja.
Dr. Dzulkefly Ahmad - Kuala Selangor
Janganlah. Bagi peluanglah saya ada 10 minit sahaja. Sudah habis tinggal tiga minit sahaja lagi.
Baik, justeru kerana itu Tuan Yang di-Pertua maka bila..
Timbalan Yang di-Pertua - Datuk Dr. Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar
Bahasan dalam Dewan argument yang membawa erti.
Dr. Dzulkefly Ahmad - Kuala Selangor
Ya, dengarlah dahulu. Justeru kerana itu Tuan Yang di-Pertua, apa pun yang telah kami tampilkan, peranan kami sebagai pembangkang, selagi kami menjadi pembangkang, kami akan terus membawa apa yang dikatakan sebagai kaedah atau apa yang dikatakan sebagai matlamat menyemak dan mengimbang kerajaan. As the saying goes “when the government is wrong, it is dangerous to be right.” Oleh kerana itu pada segala kesilapan kerajaan, dasar mahupun pelaksanaan, kami akan terus bukan hanya mengkritik terkadang kali mengecam. Justeru kerana itu mereka merasa panas.
Tuan Yang di-Pertua, kalaulah tidak kerana pembangkang yang menyuarakan suara rakyat ini kita akan ketahui bagaimana the mother of the world scandal, skandal PKFZ contohnya yang menelan RM12.5 bilion akan tidak dapat dibongkar seperti mana hari ini. Justeru juga begitu dalam apa jua projek-projek besar seperti Bakun contohnya.
Dr. Dzulkefly Ahmad - Kuala Selangor
Hari ini kita dapat lihat bagaimana sekali lagi MRT yang ditampilkan sebagai program mega, besar daripada Putrajaya - RM20 bilion, KLIA - RM10 bilion. Ini dua kali lebih besar daripada itu.
Timbalan Yang di-Pertua - Datuk Dr. Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar
Yang Berhormat satu minit Yang Berhormat.
Dr. Dzulkefly Ahmad - Kuala Selangor
[Ketawa] Tuan Yang di-Pertua, saya yakin Tuan Yang di-Pertua boleh memberikan ihsan...
Timbalan Yang di-Pertua - Datuk Dr. Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar
Saya sudah beritahu daripada awal.
Dr. Dzulkefly Ahmad - Kuala Selangor
Justeru kerana itu, tidak mengapa Tuan Yang di-Pertua, saya faham. Saya cukup faham. Saya beri izin kepada kawan-kawan lain.
Oleh sebab itu saya tidak beri pencelahan daripada Yang Berhormat Kota Belud.
Tuan Yang di-Pertua, saya ingin juga menyuarakan beberapa hal dari segi apa yang diminta oleh rakyat saya khususnya pertama adalah mereka yang diambil sebagai pekerja-pekerja kontrak yang sudah pun berkhidmat selama tujuh hingga sepuluh tahun.
Mereka masih lagi pada status itu. Saya mencadangkan supaya kerajaan menimbangkan kewajaran untuk menyerap mereka ini yang punya pengalaman, kesungguhan, komitmen untuk bersama dalam urus tadbir kerajaan dalam kapasiti mereka itu diberikan ruang untuk mereka diserap sebagai pekerja yang tidak hanya lagi sebagai statusnya kontrak.
Timbalan Yang di-Pertua - Datuk Dr. Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar
Baik Yang Berhormat.
Dr. Dzulkefly Ahmad - Kuala Selangor
Tuan Yang di-Pertua..
Timbalan Yang di-Pertua - Datuk Dr. Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar
Tunggulah penggulungan Yang Berhormat.
Dr. Dzulkefly Ahmad - Kuala Selangor
Nanti penggulungan saya celah balik Tuan Yang di-Pertua.
Timbalan Yang di-Pertua - Datuk Dr. Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar
Tunggu penggulungan nanti Yang Berhormat.
Dr. Dzulkefly Ahmad - Kuala Selangor
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Terima kasih di atas izin ini, terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Datuk Dr. Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar
Yang Berhormat Johor Bahru.
Datuk Seri Utama Shahrir bin Abdul Samad - Johor Bahru
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Saya juga ingin mengambil bahagian dalam perbahasan Menjunjung Titah Ucapan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong tempoh hari dan saya ingin menyatakan sokongan dan penghargaan saya kepada Titah Ucapan ke bawah Duli.
Tuan Yang di-Pertua, saya tidaklah bertujuan untuk bercakap perkara-perkara yang mungkin boleh dikatakan berat, nasional dan hebat belaka. Akan tetapi saya ingin menyatakan tentang satu perkara yang begitu mustahak bagi satu kumpulan rakyat Malaysia yang bilangannya pun ikut secara rasmi hanya 38,000. Walau perkara ini hanya dirasai oleh golongan ini tetapi ianya merupakan satu perkara yang asas bagi mereka.
Kumpulan yang saya maksudkan ini ialah kumpulan orang pekak.
Orang pekak di Malaysia sudah pun diiktiraf bahasa mereka mengikut Akta Kebajikan Masyarakat dan Akta OKU dengan Bahasa Isyarat Malaysia (BIM).
Datuk Seri Utama Shahrir bin Abdul Samad - Johor Bahru
Walaupun Bahasa Isyarat Malaysia ini telah diisytiharkan dan diperakukan melalui suatu akta Parlimen sebagai bahasa rasmi bagi orang pekak, namun yang menjadi masalah bagi mereka ialah bahawa Kementerian Pelajaran, Bahagian Pendidikan Khas masih lagi menolak kedudukan Bahasa Isyarat Malaysia dan terus menerus ingin menggunakan KTBM atau Kod Tangan Bahasa Malaysia sebagai bahasa isyarat yang digunakan di dalam pendidikan khas di sekolah-sekolah di mana adanya anak-anak pekak yang diajar di kelas- kelas pendidikan khas.
Saya rasa kalaulah dua cabang kerajaan, satu kementerian di bahagian kebajikan dan satu lagi Kementerian Pelajaran, tidak sama pendapat dan tidak boleh menerima satu- satu konsep yang sudah dipersetujui oleh Parlimen, saya rasa yang menjadi mangsanya ialah masyarakat orang pekak itu sendiri.
Bagi masyarakat orang pekak penggunaan Kod Tangan Bahasa Malaysia ini tidak membawa kepada satu keadaan yang memudahkan masyarakat orang pekak meningkatkan pelajaran dan komunikasi mereka. Ini kerana Kod Tangan Bahasa Malaysia berasaskan kepada pengajaran bahasa berasaskan kepada kata akar. Umpamanya saya beri satu contoh di mana mengikut Kod Tangan Bahasa Malaysia kalau dikatakan ‘jalan’ isyaratnya sebegini... [Menunjukkan bahasa isyarat tangan] Seperti jalan tetapi dalam Bahasa Malaysia jalan itu boleh dijadikan daripada satu kata asas mempunyai maksud- maksud yang berbeza sangat daripada isyarat jalan itu sendiri.
Datuk Seri Utama Shahrir bin Abdul Samad - Johor Bahru
Kalaulah katakan ditambahkan perkataan ‘jalan’ itu dijadikan ‘jalan-jalan’ dan digunakan isyarat yang sama tetapi dua kali, ‘jalan-jalan’. Langsung maksudnya terus hilang dan di sinilah kalau digunakan kaedah Kod Tangan Bahasa Melayu seperti yang dikehendaki oleh Bahagian Pendidikan Khas, Kementerian Pelajaran yang masih diteruskan hari ini. Akhirnya yang rugi bukanlah mereka yang duduk di Jabatan Pendidikan Khas kerana mereka akan terus memegang jawatan-jawatan yang telah mereka sandang hari ini, tetapi yang rugi ialah masyarakat orang pekak sehingga beberapa generasi. Jadi sebab itu haruslah stakeholder yang sebenarnya, iaitu masyarakat orang pekak mempunyai suara, mempunyai hak untuk menentukan apa cara yang sepatutnya untuk faedah mereka sendiri. Kalaulah sudah diisytiharkan di bawah Akta OKU bahawa Bahasa Isyarat Malaysia
(BIM) dijadikan bahasa rasmi untuk orang pekak, saya tak nampak mengapa harusnya Jabatan Pendidikan Khas masih begitu keras untuk mempertahankan KTBM.
Saya juga sedar bahawa pihak Jabatan Pendidikan Khas Kementerian Pelajaran ingin memperkenalkan satu bahasa isyarat yang baru. Mereka hendak memperkenalkan bahasa isyarat komunikasi dan tidak juga dirujukkan perkara ini kepada masyarakat orang pekak. Malah sekali lagi mereka mengambil jalan yang mudah, mengambil pendirian untuk memperkenalkan sesuatu yang baru mengikut kaedah dan fahaman mereka sendiri tanpa merujukkan perkara ini kepada pihak dan masyarakat orang pekak.
[Timbalan Yang di-Pertua (Datuk Ronald Kiandee) mempengerusikan Mesyuarat] Saya sedar Tuan Yang di-Pertua, bahawa kalau kita lihat orang pekak, kita tak nampak bahawa dia ini seorang yang kelainan upaya. Mereka kelihatan normal, mereka kelihatan tidak ada sebarang kecacatan kerana kecacatan mereka atau kelainan upaya mereka ialah hanya mereka tidak boleh mendengar dan sebab itu mereka tak boleh bercakap. Mereka bukan seperti pihak OKU yang lain. Menggunakan kereta ataupun golongan yang kurang kelihatan dan adanya tanda-tanda yang boleh memperlihatkan mereka sebagai satu golongan yang kelainan upaya. Sebab itu kadang-kadang mereka terlepas pandang, kita tidak melihat mereka sebagai satu golongan yang sebenarnya sudah tersisih sangat daripada arus perdana negara dan tidak ada pembelaan yang sepatutnya mereka terima.
Datuk Seri Utama Shahrir bin Abdul Samad - Johor Bahru
Sebab itu sikap Jabatan Pendidikan Khas memang sangat dikesali dengan mereka hanya melihat seolah-olah bahawa walaupun Parlimen sudah meluluskan Akta OKU, sudah pun mengisytiharkan bahasa isyarat Malaysia sebagai bahasa rasmi masyarakat orang pekak, masih lagi seolah-olah mereka pula yang pekak dan tidak mahu mendengar dan melihat masalah yang di hadapan mereka. Jadi Tuan Yang di-Pertua, saya hanya berharaplah kepada pihak Kementerian Pelajaran supaya cepat-cepatlah ambil tindakan kepada perkara ini supaya menentukan bahawa masalah ini dapat diselesaikan dengan mudah dengan mengambil kira pandangan daripada masyarakat ini.
Tuan Yang di-Pertua, yang lain saya ingin menyatakan bahawa daripada segi perkara yang telah saya timbulkan mengenai mini CIQ di Tambak Johor. Perkara ini sudah pun diselesaikan. Saya ucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada pihak kerajaan yang telah melihat kepada yang hakiki iaitu CIQ Johor Bahru - Bangunan Sultan Iskandar sebenarnya bukan hanya merupakan CIQ malahan sudah menjadi terminal pengangkutan di antara Johor Bahru dengan Singapura. Apabila kesedaran itu diakui - keadaan itu diakui dan disedari maka tindakan susulan oleh pihak yang mengurus kepada BSI atau CIQ Johor Bahru ini sudah pun mengatasi masalah yang telah sering kali saya timbulkan di dalam Dewan yang mulia ini, iaitu bagaimana hendak menambahbaikkan atau hendak memudahkan perjalanan dari Johor Bahru ke Woodland di Singapura.
Pokoknya, saya rasa Tuan Yang di-Pertua ialah bahawa bila kerajaan membina sesebuah sesuatu kemudahan awam, kadangkala kita tidak jangka apakah akhirnya kemudahan awam itu akan digunakan. Bagi orang yang suka business, Terminal Lapangan Terbang boleh menjadi sebuah mall tetapi bagi BSI Johor Bahru, daripada sebuah CIQ ia turut menjadi sebuah terminal pengangkutan. Dalam lawatan Pengerusi SPAD ke Johor Bahru, saya bertanya beliau kalau beliau hendak pergi ke Singapura dengan bas, di manakah patutnya beliau menunggu bas untuk ke Singapura. Beliau jawab di Terminal Larkin. Saya kata “Yang Berhormat, Yang Berhormat dah ketinggalan zaman. Sebenarnya kalau nak ambil bas pergi ke Singapura, pergi sahajalah ke CIQ Johor Bahru, masuk dalam CIQ boleh naik bas terus ke Singapura.” Jadi bermakna bahawa kadang-kadang kita rancang sesuatu tanpa memikirkan apakah kesan akhirnya, apakah kemungkinan-kemungkinan yang akan berlaku daripada sesuatu kemudahan yang kita bina dan sebab itu soal letak kereta di stesen-stesen MRT harus juga diambil kira kerana fiil rakyat Malaysia bukan macam rakyat di Eropah, bukan macam rakyat di negara Barat ataupun di negara-negara yang lain yang menggunakan kemudahan awam dan tentulah harus kita mengambil kira faedah dan juga keadaan yang sebenar di negara kita.
Jadi satu lagi Tuan Yang di-Pertua sebelum saya duduk ialah mengenai dengan perkhidmatan yang dirancang iaitu perkhidmatan rel laju dari Kuala Lumpur ke Singapura.
Saya harap dan saya harap benar bahawa perkhidmatan rel laju dan rel pantas dari Kuala Lumpur ke Singapura ini hanya dihadkan atau dijadikan sebagai perkhidmatan rel laju dari Kuala Lumpur ke Johor Bahru dan tak perlulah hendak terus ke Singapura.
Jadi Tuan Yang di-Pertua, itu sahajalah ucapan saya. Saya juga turut menyokong perbahasan dalam perbahasan mengenai Titah Ucapan Seri Paduka Baginda Yang di- Pertuan Agong. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Datuk Ronald Kiandee
Yang Berhormat Ampang.
Puan Hajah Zuraida Kamaruddin - Ampang
Bismillaahir Rahmaanir Rahiim.
Assalamualaikum warahmatullaahi wabarakaatuh. Alhamdulillah, Tuan Yang di-Pertua.
Terima kasih di atas kesempatan untuk mengambil bahagian dalam bahas Titah Ucapan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
Tuan Yang di-Pertua, saya terus akan fokus kepada isu-isu mengenai wanita. Kita sedia maklum bahawa komposisi wanita di negara kita adalah melebihi 85 peratus daripada keseluruhan penduduk di Malaysia.
Puan Hajah Zuraida Kamaruddin - Ampang
Maka pada hemat saya adalah amat positif jika posisi wanita ini diletakkan sebagai sebuah populasi sasaran supaya pandangan wanita serta inspirasinya sentiasa diberi perhatian dan keutamaan.
Tuntutan hak wanita dan undang-undang wanita di negara kita. Di peringkat antarabangsa antara negara-negara seperti China, Rusia, Vietnam dan Bulgaria telah pun melaksanakan cuti umum untuk Hari Wanita Sedunia yang disambut pada 8 Mac lalu.
Namun wanita Malaysia belum mendapat pengiktirafan yang sedemikian sedangkan Malaysia lebih awal mengorak langkah ke aras pembangunan. Malah sehingga kini kita masih lagi dengar banyak lagi isu-isu dalam negara kita yang mana tidak mampu lagi diatasi dan diselesaikan, seperti masalah keganasan rumah tangga dan diskriminasi terhadap wanita-wanita masih lagi berleluasa dalam negara kita. Contohnya kita dapat rekod daripada PDRM bahawa setakat September 2010, sebanyak 9815 kes keganasan rumah tangga yang belum lagi diselesaikan. Akta Gangguan Seksual juga belum lagi diluluskan, malah telah menjadi satu sindiran lawak bodoh oleh seorang kakitangan tinggi jawatan kerajaan.
Puan Hajah Zuraida Kamaruddin - Ampang
Ketiganya, seperti kes pekerja wanita di MAS (Malaysian Airline System) yang mana mereka diskriminasikan bila kena bersara bila umur mereka 40 tahun. Jadi dalam ruang ini saya minta agar Kerajaan Malaysia segera melaksanakan “Akta Undang-undang CEDAW” dan juga mengkaji semula penakrifan rogol, diskriminasi dan keganasan rumah tangga seperti yang tertakluk dalam Akta Gangguan Seksual, Akta Keganasan Rumah Tangga 1998, Undang-undang Keluarga Islam 2005 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007. Agar maksudnya lebih jelas dan tidak berlaku pertindihan dan pelaksanaannya dan agar ia berlaku adil terhadap wanita. Kerajaan Malaysia juga harus meminda Akta Imigresen 1959 dan Akta Imigresen 1993 yang kini mempunyai pertindihan di dalam peruntukan kewarganegaraan buat pasangan dan anak pasangan yang berstatus Malaysia dan warga asing.
Kita juga minta agar Kerajaan Malaysia membuat penilaian semula terhadap pelaksanaan Akta Keganasan Rumah Tangga agar ianya benar-benar bersifat adil gender tanpa mengira bangsa dan agama. Pelaksanaan segera tuntutan ini adalah perlu bagi menjamin hak wanita sentiasa terjamin dan dipelihara dengan kemas supaya kes-kes penghinaan terhadap wanita dapat dihentikan. Contohnya, kita tidak kiralah pangkat apa pun kalau mereka melakukan kesalahan terhadap wanita, mereka harus dibawa ke pengadilan. Contoh-contoh seperti tidak mahulah kita tengok pelayan-pelayan kena raba dan kita tidak mahulah ada pembantu rumah yang kena rogol. Kita juga tidak mahulah ada kes pembunuhan dengan C4 lagi dalam negara kita.
Tuan Yang di-Pertua, demi maruah wanita juga dalam negara kita ini, saya minta bahawa biarlah Menteri Penerangan, Kebudayaan dan Warisan agar lebih meneliti. Agar wanita itu tidak dilihat sebagai satu simbol seks yang digunakan untuk iklan-iklan dalam TV, iklan-iklan sama ada bercetak ataupun iklan-iklan berbentuk broadcasting. Jadi, maka atas dasar ini saya meminta agar kerajaan membentangkan satu garis piawaian atau sekatan undang-undang terhadap iklan sama ada iklan penyiaran atau iklan cetak. Nama-nama produk agar tidak menggunakan. Agar lebih gender sensitif. Nama-nama filem dan drama- drama juga dan bentuk-bentuk dialog-dialog dalam drama dan filem juga haruslah lebih berbentuk gender sensitif. Agar meletakkan wanita itu di tempat yang lebih bermaruah dalam negara kita khususnya. Kita minta juga Menteri agama untuk meneliti dalam hal ehwal ini.
Tuan Yang di-Pertua, saya juga ingin sentuh tentang kesengsaraan warga Penan.
Ini telah saya berulang kali menyebutkannya dalam Dewan ini namun sampai sekarang saya lihat tidak ada lagi satu respons dan tindakan konstruktif dari Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan juga Menteri Dalam Negeri. Untuk membawa mereka yang telah melakukan jenayah ini ke muka pengadilan. Masih lagi kes ini tertunggak. 1Malaysia rakyat dianiayakan. Ini dia 1Malaysia. Program PERMATA Negara yang telah banyak kita pertikaikan dalam Dewan ini. Dalam satu sidang kemuncak, Pengerusi PERMATA menama, mentemakan sidang kemuncak itu sebagai, “Anak Hari Ini Menjadi Pemimpin Di Masa Hadapan.”
Puan Hajah Zuraida Kamaruddin - Ampang
Sedangkan kita lihat anak-anak Penan ini bukannya ramai sangat. Kenapakah kita tidak boleh memperuntukkan sebahagian daripada wang daripada PERMATA ini untuk membantu, mendirikan sekolah-sekolah, prasekolah untuk anak-anak keluarga Penan ini.
Jadi kita lihat semalam dalam Malaysia Kini juga ada satu laporan yang mengatakan bahawa anak-anak Penan di kawasan Long Lama dan Long Sun tidak salah saya, telah meminta wang daripada anak-anak Penan ini untuk membeli buku-buku teks, sebagai tabung kebajikan dan sebagainya. Sudahlah orang Penan ini susah, sudahlah mereka sudah tidak ada accessibility kepada pendidikan dan mereka pula dilanda pula, dibeban pula lagi dengan permintaan untuk pembayaran itu dan ini. Sedangkan mereka ini sedikit sahaja, bukannya ramai. Jadi saya mintalah Menteri Pendidikan melakukan sesuatu. Saya ingat tahun lepas Menteri Pendidikan ada janji untuk meneliti perkara ini agar diperbetulkan keadaan ini agar anak-anak Penan itu tidak dinafikan hak pendidikan mereka.
Tuan Yang di-Pertua, saya juga ingin menyentuh tentang ketirisan dalam negara ini. Kita lihat dalam Global Financial Integrity Report (GFI), kita telah ketirisan sebanyak RM889 bilion. Dalam Laporan Ketua Audit Negara, kita ada ketirisan RM28 bilion. Dalam mengikut buku Brian Wain, kita juga ada ketirisan sebanyak RM340 bilion. Ini berjumlahkan RM1.3 trilion Tuan Yang di-Pertua. Namun apa yang memeranjatkan kita adalah kenapa ketirisan ini kita sudah buat laporan, tidak ada apa-apa tindakan terhadap mereka yang bertanggungjawab. Ini yang kita sebut. Janganlah kita hendak berbangga-bangga. Kita tidak mengatakan...
Datuk Abd. Rahman Dahlan - Kota Belud
Boleh mencelah Yang Berhormat?
Puan Hajah Zuraida Kamaruddin - Ampang
Yang Berhormat Kota Belud diam.
Datuk Abd. Rahman Dahlan - Kota Belud
Yang Berhormat boleh mencelah, fakta Yang Berhormat itu salah.
Puan Hajah Zuraida Kamaruddin - Ampang
Sekejap nanti, nanti.
Datuk Abd. Rahman Dahlan - Kota Belud
Ini semua penipuan, RM28 bilion Auditor General tidak pernah cakap.
Puan Hajah Zuraida Kamaruddin - Ampang
Yang Berhormat Kota Belud boleh duduk, Yang Berhormat Kota Belud bila kita bawa berdebat dekat luar tidak mahu berdebat tetapi dekat dalam Dewan berani cakap.
Datuk Abd. Rahman Dahlan - Kota Belud
Yang Berhormat jangan mengelirukan Dewan.
Puan Hajah Zuraida Kamaruddin - Ampang
Saya punya floor, saya boleh cakap apa saya suka.
Datuk Abd. Rahman Dahlan - Kota Belud
Saya bagi tahu Yang Berhormat, jangan mengelirukan Dewan.
Timbalan Yang di-Pertua - Datuk Ronald Kiandee
Yang Berhormat, tidak bagi jalan Yang Berhormat.
Datuk Abd. Rahman Dahlan - Kota Belud
Buktikan RM28 bilion itu.
Puan Hajah Zuraida Kamaruddin - Ampang
Yang Berhormat Kota Belud sila duduk.
Timbalan Yang di-Pertua - Datuk Ronald Kiandee
Ya, tidak bagi jalan Yang Berhormat.
Puan Hajah Zuraida Kamaruddin - Ampang
Tuan Yang di-Pertua, kita tahu bahawa tadi kita dengar.
Datuk Abd. Rahman Dahlan - Kota Belud
Datang sini berceramah. Tidak faham!
Puan Hajah Zuraida Kamaruddin - Ampang
Kita dengar Yang Berhormat Sibuti dan Yang Berhormat Labuan sebutkan bahawa dahulu kita seperti negara Jepun.
Datuk Abd. Rahman Dahlan - Kota Belud
Saya challenge Yang Berhormat buktikan RM28 bilion itu Auditor General ada kata.
Puan Hajah Zuraida Kamaruddin - Ampang
Negara Jepun makan ubi dan sebagainya. Singapura juga kena dijajah oleh Jepun, China juga dijajah oleh Jepun.
Datuk Abd. Rahman Dahlan - Kota Belud
Jangan menipu dengan fakta yang kosong.
Puan Hajah Zuraida Kamaruddin - Ampang
Akan tetapi kenapa mereka sekarang jauh lebih maju daripada kita?
Datuk Abd. Rahman Dahlan - Kota Belud
Jangan.
Puan Hajah Zuraida Kamaruddin - Ampang
Kerana ketirisan inilah yang buat negara kita terkebelakangan Tuan Yang di-Pertua.
Datuk Abd. Rahman Dahlan - Kota Belud
Yang Berhormat pakai tudung tidak boleh, jangan menipu.
Timbalan Yang di-Pertua - Datuk Ronald Kiandee
Yang Berhormat.
Puan Hajah Zuraida Kamaruddin - Ampang
Tuan Yang di-Pertua, saya mesti gunakan Standing Order 37(1).
Datuk Abd. Rahman Dahlan - Kota Belud
Yang RM28 bilion tidak betul.
Timbalan Yang di-Pertua - Datuk Ronald Kiandee
Yang Berhormat, Yang Berhormat, dia tidak bagi jalan, tidak bagi jalan.
Puan Hajjah Zuraida binti Kamaruddin - Ampang
37(1).
Datuk Abd. Rahman Dahlan - Kota Belud
Mana bagi jalan Tuan Yang di-Pertua, membohong.
Puan Hajah Zuraida Kamaruddin - Ampang
37(1) Tuan Yang di-Pertua.
Datuk Abd. Rahman Dahlan - Kota Belud
Apa dia?
Timbalan Yang di-Pertua - Datuk Ronald Kiandee
Ya, saya sudah bagi teguran Yang Berhormat.
Datuk Abd. Rahman Dahlan - Kota Belud
Kalau tidak menipu Yang Berhormat, saya tidak berdiri.
Puan Hajah Zuraida Kamaruddin - Ampang
Kalau tidak tahu 37(1) jangan duduk dalam Dewan ini.
Datuk Abd. Rahman Dahlan - Kota Belud
Jangan menipu.
Puan Hajah Zuraida Kamaruddin - Ampang
Kalau tidak tahu 37(1) jangan duduk dalam Dewan ini.
Datuk Abd. Rahman Dahlan - Kota Belud
Saya kata tunjukkan RM28 bilion itu.
Saya sudah bagi tahu.
Puan Hajah Zuraida Kamaruddin - Ampang
Tolong Tuan Yang di-Pertua, tolong Tuan Yang di-Pertua.
Timbalan Yang di-Pertua - Datuk Ronald Kiandee
Yang Berhormat.
Puan Hajah Zuraida Kamaruddin - Ampang
Tolong. Kalau tidak suruh dia keluar Tuan Yang di-Pertua.
Timbalan Yang di-Pertua - Datuk Ronald Kiandee
Teruskan Yang Berhormat.
Datuk Abd. Rahman Dahlan - Kota Belud
Kalau tidak tahu soal ekonomi jangan cerita.
Puan Hajah Zuraida Kamaruddin - Ampang
Kalau tidak suruh dia keluar Tuan Yang di-Pertua.
Datuk Abd. Rahman Dahlan - Kota Belud
Keluar apa?
Puan Hajah Zuraida Kamaruddin - Ampang
Jadi saya ulang lagi sekali Tuan Yang di-Pertua.
Timbalan Yang di-Pertua - Datuk Ronald Kiandee
Yang Berhormat.
Puan Hajah Zuraida Kamaruddin - Ampang
Mengganggu saya cakap, dengar saya cakap dengar dahulu.
Datuk Abd. Rahman Dahlan - Kota Belud
Apa dengar? Kalau tipu macam mana mahu dengar.
Puan Hajah Zuraida Kamaruddin - Ampang
Dengar, dengar dahulu saya tanya.
Timbalan Yang di-Pertua - Datuk Ronald Kiandee
Yang Berhormat.
Datuk Abd. Rahman Dahlan - Kota Belud
Kalau tipu macam mana mahu dengar.
Timbalan Yang di-Pertua - Datuk Ronald Kiandee
Yang Berhormat Kota Belud, Yang Berhormat Kota Belud.
Puan Hajah Zuraida Kamaruddin - Ampang
Bahawa kalau kita bandingkan negara kita dari dahulu dengan sekarang...
Datuk Abd. Rahman Dahlan - Kota Belud
Sepuluh kali kita cakap masih macam itu.
Puan Hajah Zuraida Kamaruddin - Ampang
Memang ada sedikit pembangunan.
Datuk Abd. Rahman Dahlan - Kota Belud
Patut kerajaan tolak, rakyat tolak.
Puan Hajah Zuraida Kamaruddin - Ampang
Akan tetapi sekiranya ketirisan ini tidak berlaku, maka negara kita akan...
Datuk Abd. Rahman Dahlan - Kota Belud
Tidak tahu ekonomi jangan cakap.
Puan Hajah Zuraida Kamaruddin - Ampang
Jauh lebih hebat ,jauh lebih maju daripada apa yang kita ada sekarang. Ini yang kita persoalkan Tuan Yang di-Pertua. Jadi Yang Berhormat Kota Belud tidak payah berhempas pulas untuk membidas perkara ini.
Datuk Abd. Rahman Dahlan - Kota Belud
Jangan menipu itu sahaja. Stick to your facts.
Timbalan Yang di-Pertua - Datuk Ronald Kiandee
Yang Berhormat, Yang Berhormat dia tidak bagi jalan Yang Berhormat. Cukup.
Puan Hajah Zuraida Kamaruddin - Ampang
Kita minta. Saya difahamkan oleh penerbit waktu berdebat Buku Jingga ini, sepuluh pemimpin BN UMNO tidak berani berdebat dengan Rafizi Ramli untuk berdebat, akhirnya Yang Berhormat Hulu Selangor jadi mangsa. Syabas kepada Yang Berhormat Hulu Selangor yang berani ke depan untuk berdebat. Bila berdebat di luar tidak hendak, kenapa baru sekarang hendak berdebat?
Datuk Abd. Rahman Dahlan - Kota Belud
Debat dengan saya sekarang, debat dengan saya sekarang.
Tuan P. Kamalanathan a/l P.Panchanathan - Hulu Selangor
Apa pula kait Yang Berhormat Hulu Selangor ini.
Puan Hajjah Zuraida binti Kamaruddin - Ampang
Jadi ini dia, ini bukan platformnya Yang Berhormat Kota Belud.
Tuan P. Kamalanathan a/l P.Panchanathan - Hulu Selangor
Sudah tidak betul Buku Jingga, itu “Buku Jinggay”.
Datuk Abd. Rahman Dahlan - Kota Belud
Ha, debat saya sekarang.
Timbalan Yang di-Pertua - Datuk Ronald Kiandee
Ya, boleh gulung Yang Berhormat.
Puan Hajah Zuraida Kamaruddin - Ampang
Bukan platform dia Yang Berhormat Kota Belud. Jadi Tuan Yang di-Pertua, inilah Buku Jingga yang kita janjikan.
Sekiranya 1.3 trilion itu dapat kita selamatkan, maka ...
Datuk Abd. Rahman Dahlan - Kota Belud
Itu pun lagi satu...
Puan Hajah Zuraida Kamaruddin - Ampang
Kita boleh laksanakan apa yang kita sudah tertera di Buku Jingga ini Tuan Yang di-Pertua.
Datuk Abd. Rahman Dahlan - Kota Belud
Tuan Yang di-Pertua, ini mengelirukan Dewan.
Timbalan Yang di-Pertua - Datuk Ronald Kiandee
Yang Berhormat, tidak apalah Yang Berhormat, ini ucapan dia Yang Berhormat.
Datuk Abd. Rahman Dahlan - Kota Belud
Ini mengelirukan Dewan Yang Berhormat, kalau tidak saya involve peraturan mesyuarat ...
Puan Hajah Zuraida Kamaruddin - Ampang
Akhir sekali saya minta...
Datuk Abd. Rahman Dahlan - Kota Belud
Kalau dia tidak berhenti memberi fakta yang salah.
Puan Hajah Zuraida Kamaruddin - Ampang
Agar isu pelarian yang menjadi isu utama dalam negara kita juga di kawasan Ampang. Setakat ini ada 90,000 lebih pelarian dalam negara kita. Sebanyak 90 peratus terdiri daripada orang Myanmar, Rohingya dan orang Islam, orang muslim. Jadi kita minta agar hak asasi mereka diberikan agar mereka boleh hidup dalam negara kita dan tidak mengganggu social structure dalam negara kita.
Menteri Dalam Negeri dahulu pada Februari 2010 menjanjikan bahawa akan diberikan kad pengenalan kepada pelarian-pelarian ini agar mereka dapat dilindungi daripada tangkapan polis dan juga boleh bekerja.
Jadi ini di antara janji-janji kosong 1Malaysia. Cakap janji-janji “jingga” kosong, janji yang dah janji sebagai kerajaan pun tidak boleh dilaksanakan, hendak cakap janji “jingga” yang belum kita mengambil alih kerajaan. Jadi Tuan Yang di-Pertua, saya sokong, terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Datuk Ronald Kiandee
Yang Berhormat Sekijang.
Datuk Abd. Rahman Dahlan - Kota Belud
[Bercakap tanpa menggunakan pembesar suara]
Dato' Shamsul Anuar Nasarah - Lenggong
Ketua dia pembohong.
Datuk Haji Baharum bin Haji Mohamed - Sekijang
Terima kasih Tuan Yang di- Pertua kerana memberi peluang kepada saya untuk bersama membahaskan Titah Ucapan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada 7 Mac 2011. Dia kalau bohong banyak, tidak selamat.
Datuk Haji Baharum bin Haji Mohamed - Sekijang
Kita cakap apa yang betul. Perkara pertama yang hendak saya bincangkan ialah tentang transformasi ekonomi, Tuan Yang di-Pertua. Saya ingin mengucapkan setinggi- tinggi tahniah kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia yang telah mengadakan Program Transformasi Kerajaan dan Program Transformasi Ekonomi. Ini tentunya satu idea Perdana Menteri yang berpandangan jauh dan berani untuk membawa Malaysia menjadi negara maju dan berpendapatan tinggi. Ini sebagaimana yang telah disarankan oleh Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
Datuk Haji Baharum bin Haji Mohamed - Sekijang
Sekiranya penduduk di dalam negara kita mempunyai pendapatan tinggi, maka sebarang kenaikan harga barang akan dapat diserap dengan mudah kerana rakyat mempunyai kuasa beli yang kukuh dan kuat. Ini kerana, kenaikan harga barang terutamanya harga barang makanan telah meningkat dari hari ke hari akibat daripada perubahan-perubahan yang berlaku di luar negara terutamanya hasil daripada perubahan iklim dunia sebagaimana yang kita bincangkan pada pagi tadi iaitu berlakunya gempa bumi dan sebagainya.
Sebagai negara pengimport barangan makanan dari luar, maka tentunya kita tidak dapat lari daripada kenaikan harga barang. Walaupun kerajaan Barisan Nasional di bawah pimpinan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri telah memberikan berbilion ringgit subsidi, namun kenaikan harga barang tidak dapat kita sekat kerana faktor-faktor luaran ataupun faktor-faktor di luar negara adalah di luar daripada bidang kuasa kita.
Akibat daripada subsidi yang besar ini Tuan Yang di-Pertua, maka aktiviti-aktiviti penyeludupan mungkin menyebabkan negara kita kerugian. Ini kerana, harga barangan negara kita dengan negara jiran, perbezaannya begitu ketara sekali iaitu sebagai contohnya, harga gula di negara jiran seperti di Indonesia misalnya sekitar RM3.50 sen, tetapi di negara kita hanya RM2.20 sen sahaja walaupun barangan ini kita import daripada luar. Begitu juga dengan barangan-barangan yang kita subsidi yang lain. Perbezaannya begitu jauh. Ini belum lagi kita bandingkan dengan negara jiran di selatan negara kita iaitu di Singapura.
Akibat daripada perbezaan inilah maka telah menarik perhatian pihak-pihak tertentu yang ingin mengaut keuntungan besar dan cepat telah menyeludup barangan ini keluar. Ini seolah-olah hanya kita menggalakkan aktiviti-aktiviti penyeludupan di dalam negara kita. Walaupun begitu, kita sangat berterima kasih kepada agensi-agensi penguat kuasa kita yang telah berusaha menumpaskan sindiket-sindiket penyeludupan di dalam negara ini.
Oleh itu, hasrat Yang Amat Berhormat Perdana Menteri untuk mentransformasikan ekonomi kita yang berpendapatan tinggi harus kita puji supaya rakyat mempunyai pendapatan yang tinggi dan berkemampuan. Ini sebagaimana yang berlaku pada hari ini Tuan Yang di-Pertua, apabila harga getah dan sawit naik, kita di luar bandar bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana walaupun ada kenaikan harga barangan tetapi sedikit sebanyak kita dapat menyerap kenaikan harga ini dengan kenaikan harga komoditi yang kita ada.
Kedua Tuan Yang di-Pertua, ialah tentang pembangunan di kawasan tadahan air.
Saya telah mengemukakan soalan lisan berkaitan pembangunan kawasan tadahan air dalam sesi ini. Malangnya, soalan saya telah ditolak kerana ianya dikatakan di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.
Saya bersetuju bahawa ianya sememangnya di bawah kuasa bidang kuasa kerajaan negeri, tetapi sebelum sesuatu projek pembangunan dijalankan di satu-satu kawasan itu, biasanya ia mestilah mendapat komen ataupun mendapat persetujuan daripada sekurang-kurangnya tujuh jabatan yang terlibat iaitu salah satunya ialah Jabatan Parit dan Saliran yang terletak di bawah Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar yang ianya juga terletak di bawah Kerajaan Persekutuan, atau sekurang-kurangnya diwajibkan membuat kajian kesan alam sekitar di sesuatu kawasan itu sebelum ianya dibangunkan.
Di dalam kes ini, saya ingin merujuk kepada soalan saya iaitu penambakan tanah yang begitu banyak dan luas di persekitaran jambatan kedua dan ketiga di Daerah Segamat yang secara kebetulan terletak dalam kawasan Parlimen saya. Kawasan ini kemudiannya telah dibangunkan menjadi kawasan komersial dan perumahan. Apabila hujan lebat, kawasan yang dahulunya menjadi kawasan penampungan air ataupun kawasan tadahan air telah tiada lagi kerana telah ditambak dan dibangunkan. Maka, air mula melimpah dan mencari kawasan yang lebih rendah dan akhirnya melanda kawasan perkampungan dan taman-taman yang terletak di sekitarnya.
Kalau dahulu banjir besar di Daerah Segamat dikatakan terjadi kira-kira 50 tahun ataupun 100 tahun sekali, tetapi kini banjir besar terjadi kurang daripada lima tahun.
Contohnya banjir yang terjadi pada tahun 2006 atau awal tahun 2007 itu yang dikatakan yang terbesar dalam abad ini.
Datuk Haji Baharum bin Haji Mohamed - Sekijang
Akan tetapi pada Januari 2011 ini, berlaku lagi banjir dan lebih besar daripada banjir yang berlaku pada tahun 2006 dan 2007. Oleh itu, saya mohon kementerian yang berkaitan supaya melihat perkara ini dan tidak ada lagi penambakan ataupun pembangunan dijalankan di kawasan-kawasan ini.
Saya juga memohon kepada Kereta Api Tanah Melayu di mana landasan kereta api bermula dari Segamat menuju ke selatan sepanjang 2 kilometer agar ianya dibina jambatan dan tidak lagi melalui laluan yang ditambak kerana laluan ini juga merupakan penyumbang kepada banjir yang berlaku di Daerah Segamat dan di kawasan saya. Ini terutamanya apabila pihak KTM nanti akan membuat landasan berkembar tidak lama lagi.
Oleh kerana banjir besar ini telah dua kali berlaku di kawasan saya, melibatkan lebih daripada 15,000 orang yang terlibat, maka saya mohon supaya Kerajaan Persekutuan membina satu penempatan semula kepada mangsa-mangsa banjir ini agar mereka tidak lagi menghadapi ketakutan apabila hujan turun dengan lebat. Tapak pembinaan penempatan semula ini boleh dirundingkan dengan kerajaan negeri. Saya percaya kerajaan negeri bersedia untuk merundingkan.
Manakala kos infrastruktur dan pembinaan, saya minta ditanggung oleh kerajaan ataupun diberi kepada Syarikat Perumahan Negara di bawah Kementerian Kewangan dan saya menganggarkan kosnya adalah sekitar RM200 juta sahaja. Ini adalah lebih murah daripada yang saya difahamkan bahawa untuk tebatan banjir Lembangan Sungai Muar yang kosnya dikatakan sekitar RM1.2 bilion.
Di kesempatan ini juga saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih yang tidak terhingga kepada pihak-pihak yang terlibat terutamanya kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dan isteri dan juga kepada yang telah datang melawat kawasan saya semasa banjir dan juga kepada Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Kebajikan Masyarakat, RELA, Pejabat Daerah Segamat, Kementerian Pendidikan Malaysia, Kerajaan Negeri Johor dan semua jabatan, NGO-NGO yang terlibat di dalam membantu mangsa- mangsa banjir di kawasan Sekijang.
Tuan Yang di-Pertua, saya juga mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Kementerian Pertahanan, Kementerian Dalam Negeri kerana telah mengadakan usaha pakatan strategik bagi membolehkan anggota Angkatan Tentera Malaysia diserap ke dalam perkhidmatan polis dan mengadakan rondaan secara bersama. Kita sememangnya tahu bahawa ramai di kalangan anggota tentera kita bersara di peringkat umur yang masih muda dan bertenaga. Mereka ini rata-rata mempunyai kepakaran dalam bidang yang terlatih.
Selama ini, apabila mereka bersara daripada perkhidmatan angkatan tentera dan tentunya kepakaran mereka ini juga akan turut lenyap dan hilang begitu sahaja. Akan tetapi dengan langkah bijak ini, kita akan dapat menggembleng semula kepakaran dan pengalaman mereka untuk kepentingan negara.
Datuk Haji Baharum bin Haji Mohamed - Sekijang
Di sini saya ingin mencadangkan juga sebelum penyerapan dibuat di dalam perkhidmatan tentera pada perkhidmatan polis, kajian mendalam perlulah dilakukan dengan sebaik mungkin yang boleh. Ini termasuklah untuk tangga gajinya, kedudukan pangkatnya, kursus-kursus peralihan dan sebagainya perlu dilakukan agar tidak menimbulkan sebarang permasalahan di kemudian hari. Saya juga mencadangkan supaya diadakan kursus percubaan dilakukan dalam tempoh-tempoh tertentu bagi memastikan kesesuaian dalam penyerapan tersebut. Selain daripada polis...
Timbalan Yang di-Pertua - Datuk Ronald Kiandee
Boleh habiskan Yang Berhormat?
Datuk Haji Baharum bin Haji Mohamed - Sekijang
Selain daripada polis, perbincangan juga perlu dilakukan pada jabatan-jabatan yang lain yang boleh digunakan kepakaran-kepakaran mereka yang telah pun akan bersara daripada angkatan tentera ini seperti Jabatan Pertahanan Awam, Bomba dan Penyelamat, RELA dan lain-lain jabatan yang kita fikirkan sesuai. Habis masa Tuan Yang di-Pertua?
Timbalan Yang di-Pertua - Datuk Ronald Kiandee
Habis, Yang Berhormat.
Datuk Haji Baharum bin Haji Mohamed - Sekijang
Sekian Tuan Yang di- Pertua. Saya mohon menyokong.
Timbalan Yang di-Pertua - Datuk Ronald Kiandee
Yang Berhormat Kulim Bandar Baharu.
Tuan Zulkifli bin Noordin - Kulim Bandar Baharu
Terima kasih Tuan Yang di- Pertua atas peluang untuk turut sama dalam bahas Titah Diraja ini. Saya hanya akan fokus pada satu isu sahaja yang dibangkitkan oleh Yang di-Pertuan Agong berkaitan dengan kedudukan Islam sebagai agama persekutuan yang tercatat dalam paragraph 39 Titah Ucapan Diraja. Saya ingin membangkitkan tentang percambahan satu ideologi baru berkaitan dengan Islam ini iaitu ideologi pluralisme, fahaman pluralisme. Terdapat kekeliruan Tuan Yang di-Pertua antara plurality dan pluralisme. Plurality adalah kepelbagaian, pluralisme adalah satu fahaman kesamaan. Ia ada beza di situ.
Kalau daripada konteks Islam, plurality maknanya Surah Al-Kafirun... [Membaca sepotong ayat Al-Quran] “Untuk kamu agama kamu, untuk kami agama kami”... Itu plurality, kepelbagaian agama, dihormati oleh Islam. Akan tetapi dalam konteks pluralisme, kesamaan, itu tidak ada di dalam Islam sebab jelas dalam Al-Quran... [Membaca sepotong ayat Al-Quran dari Surah Al-Fath] Jadi, dalam Islam ada perbezaan antara plurality, menghormati kepelbagaian agama tetapi tidak ada dalam konsep kesamaan agama. Ini sebenarnya Tuan Yang di- Pertua, ada di dalam Perlembagaan Persekutuan. Artikel 3, Perlembagaan Persekutuan menyebut bahawa agama Islam, Islam adalah agama bagi Persekutuan tetapi agama- agama lain boleh diamalkan dengan bebas dan dijamin. Ini yang kita panggil plurality yang terdapat di dalam Surah Al-Kafirun. Yang ini kita hormati dan ini disebut oleh Yang di- Pertuan Agong di dalam Titah Ucapan Baginda.
Akan tetapi yang menjadi masalah hari ini yang telah dibangkitkan oleh banyak NGO, individu-individu, tokoh-tokoh, ulama-ulama, ilmuwan Islam ialah percambahan fahaman pluralisme. Bagi membuktikan fahaman pluralisme ini, saya cuma perlu membaca petikan daripada satu ucapan yang terkandung di dalam..., yang boleh dirujuk. Ucapan ini adalah ucapan Yang Berhormat Permatang Pauh sendiri dan saya tidak petik daripada tempat lain. Saya petik daripada blog beliau sendiri iaitu, www.anwaribrahimblog.com/2010/03/22/public-lecture-by-anwar-ibrahim-at-the-london- school-of-economics-march-18.2010/, Mac 2010. Ucapan ini terkandung di dalam blog beliau sendiri, tetapi yang menghairankan saya setelah isu pluralisme ini dibangkitkan, tiba- tiba entry tersebut dipadamkan. Kita tidak tahu pasal apa. Mungkin beliau perlu perjelaskan.
Akan tetapi yang penting Tuan Yang di-Pertua, dalam ucapan ini – saya hendak baca supaya kita faham apa yang beliau maksudkan dengan pluralisme. Saya baca dalam bahasa asal ucapan beliau sendiri dengan izin Tuan Yang di-Pertua, “I believe I am not alone in saying that for religious pluralisme to flourish in a divided world, it is morally unacceptable to say to people of other faiths: we believe in our God and we believe we are right; you believe in your God but what you believe in is wrong”. Maknanya ayat ini menyatakan bahawa adalah salah bagi sesiapa yang menyatakan, “Kami percaya agama kami dan kami percaya kami betul, kamu percaya agama kamu tetapi agama kamu tidak betul”.
Ini bercanggah langsung dengan Surah Al-Kafirun... [Membaca sepotong ayat Al- Quran] Bercanggah dengan ayat yang saya baca tadi, Surah Al-Fath ayat 20... [Membaca sepotong ayat Al-Quran] “Agama Islam itu agama hak”. Itu yang disebut. [Membaca sepotong ayat Al-Quran dari Surah Al Fath]
Tuan Zulkifli bin Noordin - Kulim Bandar Baharu
Jadi, ini adalah pandangan yang secara langsung menyatakan bahawa semua agama sama. Semua Tuhan sama dan yang saya hendak petik lagi ucapan – beliau merujuk pada; “The Guru Grand Sahib tells us that he who sees that all spiritual paths lead to the One shall be freed but he who utters falsehood...”, falsehood di sini maknanya mengatakan agama dia betul, agama orang tidak betul, “...shall descend into hellfire and burn. The blessed and the sanctified are those who remain absorbed in Truth. Whatever the religion, whether it be Islam, Christianity, Judaism, Sikhism, Hinduism and many others, I believe that the higher truths which go beyond mere practice and ritual all converge on the singular truth...” Basically, bagi kita umat Islam, kita perlu faham yang dimaksudkan di sini kitalah orang Islam. Kita ke neraka kerana kita percaya pada... [Membaca sepotong ayat Al-Quran dari Surah Al-Kaafirun] Kepercayaan kita itu mengikut ucapan ini membawa kita ke hell-fire.
Jadi, adakah Tuan Yang di-Pertua, adakah ini satu one off punya fahaman. Saya sudah check. Rupa-rupanya ini merupakan satu idealisme, fahaman yang sudah pun bersarang pada pemikiran beliau. Contohnya, saya rujuk pada buku-buku keluaran contohnya keluaran Middle Eastern Graduates Centre Sdn. Bhd. (MEGC). Ini Tuan Yang di- Pertua ialah sebuah badan yang ada kaitan dengan Institut Kajian Dasar (IKD) yang mana Yang Berhormat Permatang Pauh adalah salah seorang ahli lembaga pemegang amanah.
Kita baca dalam buku ini [Memegang sebuah buku] bertajuk ‘Kahwin Campur’. Saya baca contoh ayat yang digunakan, “Daripada perbincangan di atas, dapat difahami bahawa kahwin campur antara Muslim dengan non-muslim adalah harus”. Maknanya kahwin campur boleh. Ini lagi sebuah buku. [Memegang sebuah buku] ‘Islam and Pluralisme’. Ini buku keluaran tahun 2006. [Memegang sebuah buku] Ini juga buku keluaran tahun 2006 – ‘Islam and Pluralisme’ oleh badan yang sama MEGC yang ada kaitan dengan IKD yang buku ini diharamkan oleh kerajaan kerana fahaman pluralisme.
Dalam Islam, kita tidak bercakap pasal agama lain. Ini bercakap pasal Islam. Jadi, maknanya fahaman pluralisme di dalam Islam anutan Yang Berhormat Permatang Pauh, nampak jelas. Satu fahaman yang membahayakan. Ada petikan di situ tentang tulisan daripada seorang ahli sastera Islam abad ke-13, Jalaluddin Al-Rumi, yang menyatakan ‘Pelbagai cahaya menuju ke satu’.
Tuan Zulkifli bin Noordin - Kulim Bandar Baharu
Ini adalah petikan daripada buku tulisan John Hick, bapa pluralism yang memetik Nicholson. Kalau kita baca Masnawi Jalaluddin Al-Rumi, dia tidak cakap begitu. Ini adalah putar belit kepada kenyataan Jalaluddin Al-Rumi. Jadi pokok pangkalnya Tuan Yang di- Pertua, apa kesan pemikiran pluralism ini? Kesannya, contoh hari ini setelah saya check dengan kawan, bincang dengan ulama, bincang dengan kawan-kawan ilmuwan dan lain- lain. Baru saya faham mengapa Yang Berhormat Permatang Pauh mempunyai pendirian, kalimah Allah semua agama boleh guna. Sama ada dalam bentuk kalimah Allah itu tauhid satu, sama ada kalimah Allah itu trinity yang dituntut oleh segelintir missionary Christian, sebab rupanya itulah fahamannya, fahaman pluralisme. Semua agama sama.
Walaupun terdapat ulama besar seperti Dato’ Dr. Haron Din, yang berpendapat pandangan seperti itu, pandangan yang menyatakan kalimah Allah ini boleh digunakan oleh agama lain dalam bentuk syirik, kata Dato’ Dr. Haron Din hukumnya syirik. Orang yang percaya pada fahaman seperti ini adalah kufur atau boleh jatuh kufur. Malahan Tuan Yang di-Pertua, beberapa orang ulama dan mufti secara khusus dan spesifik meminta Yang Berhormat Permatang Pauh supaya bertaubat. Sahibul Samahah Mufti Kerajaan Negeri Perak, telah menyatakan dengan terbuka minta supaya Yang Berhormat Permatang Pauh bertaubat, kerana dia khuatir bahawa fahaman seperti ini akan membawa kepada kesesatan.
Jadi, saya tidak mahu mengulas lebih panjang Tuan Yang di-Pertua sebab masa yang terbatas. Saya minta satu, supaya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia menyiasat fahaman ini, fahaman pluralism. Kedua, saya minta supaya JAKIM menyiasat ucapan ini, ucapan di London School of Economics pada 18 Mac tahun lepas.
Tuan Zulkifli bin Noordin - Kulim Bandar Baharu
Kemudian, saya minta juga supaya Yang Berhormat Permatang Pauh berani untuk berdepan dengan rakan-rakan dia sendiri, daripada kalangan ulama dan ilmuwan Islam, yang minta supaya dia datang berdebat, bermuzakarah tentang isu pluralism ini, supaya ia datang dan perjelaskan kedudukan.
Ini kerana kita tidak tuduh, kita mahu kedudukan diperjelaskan supaya tidak berlaku salah faham. Ini permintaan rakan-rakan dia sendiri. Jadi kita minta supaya Yang Berhormat Permatang Pauh berani, macam mana kita minta juga supaya dia berani kemukakan DNA. Oleh sebab Tuan Yang di-Pertua...
Timbalan Yang di-Pertua - Datuk Ronald Kiandee
Ya, habiskan Yang Berhormat.
Tuan Zulkifli bin Noordin - Kulim Bandar Baharu
Satu sahaja saya hendak sebut kepada kawan-kawan saya, termasuk daripada PAS khususnya. Soal DNA ini Tuan Yang di-Pertua, bukan soal hendak kata Yang Berhormat Permatang Pauh salah tetapi hendak menunjukkan kebenaran. Perkara yang hak, Tuan Yang di-Pertua, cuba bayang.
Saya sudah keluarkan statement, dengan setitik darah itu kalau apa yang disebut oleh Yang Berhormat Permatang Pauh itu betul, bahawa DNA lelaki ‘Y’ yang ada di dalam karung Saiful itu tidak betul. Jika terbukti dengan ujian DNA itu, saya berani cakap kepada kawan-kawan saya di sebelah sana, kalau hari ini Yang Berhormat Permatang Pauh bagi setitik darahnya dan terbukti tidak betul, minggu depan mereka akan duduk sebelah sana, sebelah kerajaan.
Ini kerana rakyat akan hilang kepercayaan kepada kerajaan. Jadi, persoalan dia sekarang, ini jalan singkat untuk pergi ke Putrajaya, tidak payah bohong, tidak payah kelentong, tidak payah tipu, tidak payah beli MP, tidak payah kejar sampai ke Taiwan, tidak payah!... [Tepuk] Hanya dengan setitik darah, dia boleh pergi ke sebelah sana.
Jadi, Tuan Yang di-Pertua, saya menggulung dengan mencadangkan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia supaya menyiasat isu pluralism ini kerana kita khuatir, kita masih kasihankan Yang Berhormat Permatang Pauh. Kita tidak mahu seperti apa yang disebutkan oleh Sahibul Samahah Mufti Kerajaan Negeri Perak, kita khuatir ada ciri-ciri kemungkinan boleh jatuh ke murtad, terkeluar daripada aqidah Ahli Sunnah wal-Jamaah jika fahaman pluralism ini diteruskan. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Timbalan Yang di-Pertua - Datuk Ronald Kiandee
Yang Berhormat Lenggong.
Dato’ Shamsul Anuar Nasarah - Lenggong
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Ucapan perasmian pembukaan sidang Dewan oleh Ke Bawah Duli Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, telah menyentuh pelbagai perkara dan isu semasa dan saya kira perlu diberikan perhatian serius kerana titah ucapan tersebut meliputi pelbagai isu dan perkara.
Kerajaan menyasarkan RM83 bilion mampu dicapai menerusi projek EPP yang dirancang dalam Program Transformasi Ekonomi. Projek di bawah 10 Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) itu dijangka menjana pelaburan hampir RM67 bilion. Pendapatan Negara Kasar RM36 bilion, selain mewujudkan peluang lebih daripada 35,000 pekerjaan.
Setakat ini sudah 18 EPP telah dilancarkan oleh kerajaan. Saya amat menyokong program ini dan berharap ia akan diteruskan kerana ia memberikan impak besar kepada rakyat, terutama sekali generasi muda.
Cuma saya mohon kerajaan turut memberikan perhatian dan dapat memaklumkan dalam Dewan ini, apakah kesan secara langsung dan tidak langsung yang diperolehi oleh masyarakat, terutama sekali golongan yang berada di luar-luar bandar. Kemudian pada tahun 2020, Keluaran Dalam Negara Kasar per kapita akan dijangka berada pada tahap RM46,000 bersamaan USD15,000 berbanding dengan RM23,000 atau USD7,500 pada tahun 2010.
Dato’ Shamsul Anuar Nasarah - Lenggong
Soal yang ingin saya kemukakan di sini ialah dengan senario ekonomi dunia ketika ini dan berlaku masalah tsunami di Jepun dan juga pergolakan di Asia Barat. Mengikut rekod kita sejak merdeka, KDNK pada harga sebenar meningkat sekitar 6.5 peratus setahun bagi tempoh 1957 hingga 2005. Persoalannya apakah dalam keadaan ekonomi dan juga senario yang berlaku di beberapa negara ini, apa yang hendak dicapai oleh kerajaan akan menepati sasarannya.
Saya juga ingin menyentuh Kementerian Pengajian Tinggi, saya difahamkan Kementerian Pengajian Tinggi berhasrat untuk memberikan status PR kepada pelajar- pelajar asing yang terpilih. Soalan yang ingin saya timbulkan ialah perlukah ianya diteruskan dan saya fikir kawalan dan kajian secara terperinci ke atas perkara ini perlu diberikan perhatian jika ia benar hendak melaksanakan. Ini kerana kita bimbang dengan keadaan digunakan oleh golongan dan pihak tertentu, yang menggunakan pelajar ini bagi kepentingan pihak-pihak tertentu dalam negara ini dan pemberian ini akan memungkinkan perkara itu berlaku.
Oleh sebab itu saya mohon penjelasan kementerian, apakah perkara ini atau pemberian PR ini akan diteruskan? Isu PATI. Seolah-olah tidak ada kesudahan apatah lagi kalau kita lihat musim cuti di KLCC, kota raya, bandar-bandar besar di Johor Bahru, begitu ramai golongan ini. Malah mereka menguasai keadaan pada waktu-waktu cuti. Akan tetapi ia juga berlaku di kampung-kampung, di luar-luar bandar, kebanjiran golongan ini juga begitu ramai.
Jadi saya mohon penjelasan kementerian bagaimanakah perancangan yang konsisten untuk menyelesaikan masalah ini kerana PATI ini menimbulkan pelbagai masalah sosial, menimbulkan pelbagai ancaman keselamatan dan kesihatan kepada negara dan sudah tentu kita mahu penyelesaian yang telus dilakukan.
Dalam usaha Kementerian Dalam Negeri untuk mengurangkan masalah jenayah dalam negara ini, rekod menunjukkan berlaku penurunan yang begitu ketara dan saya percaya ini merupakan satu kejayaan kepada Kementerian Dalam Negeri khususnya PDRM dalam menurunkan indeks jenayah dalam negara ini. Kita juga memuji bagaimana permulaan langkah kerjasama strategik yang dilakukan oleh PDRM dengan kerjasama angkatan tentera, melakukan usaha-usaha untuk meningkatkan menjamin keselamatan negara.
Cuma saya ingin mendapat penjelasan daripada pihak KDN apakah bidang-bidang keutamaan yang ditekankan dalam aspek kerjasama antara PDRM dan tentera Malaysia?
Dalam perkara ini juga saya percaya usaha-usaha yang lebih gigih perlu dilakukan bagi meningkatkan usaha berterusan untuk mengurangkan jenayah. Misalnya ancaman jenayah merentasi sempadan, memerangi pengedaran dan penyalahgunaan dadah yang kita lihat begitu berleluasa dan saya difahamkan betulkah Malaysia ini dijadikan transit oleh penjenayah-penjenayah ini, untuk mengedarkan dadah berkenaan ke luar negara.
Dato’ Shamsul Anuar Nasarah - Lenggong
Adakah perlu juga KDN membuat kajian semula tentang kaedah yang diguna pakai oleh Kementerian Dalam Negeri khususnya di dalam proses pemulihan penagih dadah di pusat-pusat pemulihan. Oleh sebab itu saya mengucapkan tahniah dan syabas kepada PDRM walaupun banyak isu yang timbul tetapi usaha yang mereka lakukan selama ini memang benar-benar menampakkan hasil.
Dalam pada itu juga, saya ingin menyentuh sedikit berkaitan dengan Kementerian Dalam Negeri ini di kawasan saya, sebab itu saya memohon supaya isu balai polis di Lenggong ini yang diturun taraf daripada Ibu Pejabat Polis Daerah kepada balai polis dengan anggotanya daripada 127 orang tinggal 27 orang dan menimbulkan pelbagai masalah kepada rakyat ini ditangani dengan segera. Saya harap ini akan dapat meningkatkan lagi keyakinan dan sokongan rakyat kepada kerajaan.
Menyentuh Kementerian Pelancongan Malaysia Tuan Yang di-Pertua, kejayaan industri pelancongan ini, kita tentu tahu tidak semata-mata bergantung dengan kempen dan promosi gerakan melalui pengiklanan atau melibatkan kunjungan delegasi ke luar negara.
Dato’ Shamsul Anuar Nasarah - Lenggong
Ia juga sedikit sebanyak bergantung kepada cerita-cerita atau pengalaman- pengalaman para pelancong yang sudah datang ke Malaysia dan membawa berita-berita mengenai negara ini ke luar negara.
Oleh sebab itu, saya percaya dan kita perlu meningkatkan usaha-usaha untuk memperbetulkan beberapa perkara supaya imej negara ini tidak dibawa keluar, maknanya berita-berita yang tidak betul dan tidak baik dibawa keluar. Oleh sebab itu, insiden-insiden umpama pelancong ditipu oleh pemandu teksi. Kekotoran di pusat-pusat membeli belah, kekotoran di pusat-pusat penyediaan makanan. Kelemahan sistem pengangkutan awam, pencemaran sungai, kawasan rekreasi, harga makanan yang ditawarkan di tempat tertentu yang mahal dan tidak berpatutan ini tidak menjadi isu dan perkara ini sebenarnya akan menjadikan sesuatu imej yang tidak buruk dan dibawa pulang oleh pelancong-pelancong yang datang ke negara ini.
Selain daripada itu, saya juga mahu mendapatkan penjelasan daripada pihak kementerian, aduan-aduan daripada para pelancong yang dibawa kepada agensinya, apakah diselesaikan dengan cepat atau dan saya juga ingin tahu bagaimana kaedah yang digunakan oleh pihak kementerian dalam menyelesaikan perkara-perkara yang dibawa oleh pelancong. Misalnya aduan tentang ketidakselesaan di tempat awam, di hotel dan sebagainya. Bagaimana kaedah yang digunakan oleh kementerian untuk menyelesaikan segera isu-isu yang ditimbulkan ini? Walau bagaimanapun Tuan Yang di-Pertua, saya juga berharap supaya usaha-usaha yang lebih gigih dilakukan oleh Kementerian Pelancongan ini untuk menambah dan meningkatkan prasarana dan produk-produk pelancongan khususnya di luar bandar kerana ini juga memberikan kebaikan dan memberikan sesuatu yang amat berharga kepada kita.
Berkenaan dengan Kementerian Penerangan dan Komunikasi Warisan, pagi tadi saya menyentuh berkaitan dengan Lenggong sebagai tapak warisan dunia. Inilah satu-satu kawasan yang ada di dunia yang merupakan kawasan awal yang didiami oleh manusia bukan hanya negara kita tetapi di kawasan di Asia ini di mana manusia telah pun mendiami Lembah Lenggong ini sejak satu 1,000,830 tahun dahulu, tamadunnya tidak putus sehingga ke tamadun zaman moden.
Disebabkan itu saya menginginkan penjelasan daripada pihak kementerian, bagaimanakah promosi yang akan dibuat oleh pihak kementerian untuk melonjakkan nama tapak warisan dunia ini supaya dengan pengiktirafan yang bakal dibuat oleh UNESCO secara tidak rasminya sebelum September ini dan rasminya pada 2012 ini akan benar- benar memberi impak besar kepada negara.
Selain daripada itu saya berharap berkaitan dengan kementerian ini juga supaya kerajaan memikirkan untuk mewujudkan Muzium Ekologi di kawasan berkenaan, kerana batu-batuan yang ditemui ketikan ini berada di universiti sains di serata tempat di kumpulkan di dalam sebuah tempat yang dipanggil Muzium Ekologi di Lenggong ini supaya ia memberikan kebaikan terutama sekali dalam usaha kita untuk meningkatkan industri pelancongan.
Selain daripada itu juga, saya fikir jika ketika ini ada pusat kajian lapangan ekologi Universiti Sains Malaysia, apakah kementerian khususnya Kementerian Pengajian Tinggi memikirkan supaya Universiti Sains Malaysia mewujudkan sekurang-kurangnya fakulti ekologi di Lenggong ini dan mengambil kira bahawa kawasan itu adalah tapak warisan dunia. Dengan ada fakulti ini, ia akan mendapat meningkatkan lagi kajian-kajian ilmiah yang berkaitan dengan perkara ini.
Satu perkara saya harap pihak kementerian untuk jika ketika ini Perak Men itu sebagai produk penting kepada Muzium Ekologi Lenggong ini berada di muzium di Kuala Lumpur dibawa pulang ke Lenggong, kerana ini merupakan harta besar bagi tapak ini dan tidak diletakkan di Kuala Lumpur tetapi diletakkan di Muzium Ekologi Kota Tampan.
Menyentuh Kementerian Belia dan Sukan, saya mengucapkan tahniah kepada Kementerian Belia dan Sukan kerana pelbagai kejayaan telah dicipta oleh pasukan, atlet- atlet negara. Inilah hasil kejayaan setelah lama kerajaan lakukan dan perancangan yang di lakukan oleh kerajaan dan kementerian sejak begitu lama dan hasilnya dapat kita toreh dan peroleh pada ketika ini.
Dato’ Shamsul Anuar Nasarah - Lenggong
Saya fikir kalau perancangan dibuat lama untuk program-program lain, ia juga akan kita peroleh sebagaimana kita peroleh, contohnya kepada pasukan bola sepak negara dan sebagainya.
Saya cuma ingin mendapatkan penjelasan di sini, bagaimanakah perancangan kerajaan untuk memastikan program Road to London 2012, ini benar-benar berjaya, apakah ada masalah-masalah atau gangguan-gangguan yang berlaku dalam usaha kita untuk memastikan sekurang-kurangnya Malaysia mendapat satu pingat emas dalam negara ini. Bidang sukan, alhamdulillah lah nampaknya ada kejayaan walaupun perlu ditingkatkan lagi, cuma saya ingin bertanya kepada pihak kementerian bagaimana dengan kegiatan belia, nampaknya ini suram sedikit, tidak diberikan tumpuan oleh pihak kementerian? Oleh sebab itu saya berharap selain daripada kita memberikan tumpuan kepada program Sambutan Hari Belia itu program tahunan yang telah dibuat bertahun-tahun dahulu tetapi tahniah juga kerana itu ditambah nilai oleh pihak kementerian.
Akan tetapi bagaimana dengan program-program umpamanya, Program Rakan Muda, program kepimpinan. Bagaimana dengan semangat Akta Pembangunan Pertubuhan Belia, bagaimana dengan Majlis Pertubuhan Belia, mengapa bantuan kepada pertubuhan- pertubuhan belia di kampung-kampung yang dahulu diberikan tetapi kini tidak diberikan lagi dan saya ingin bertanya kepada Yang Berhormat Menteri, apakah program baru yang dibuat oleh Kementerian Belia dan Sukan oleh Menteri untuk meningkatkan program kegiatan belia...
Timbalan Yang di-Pertua - Datuk Ronald Kiandee
Ya.
Dato’ Shamsul Anuar Nasarah - Lenggong
Dalam negara ini.
Timbalan Yang di-Pertua - Datuk Ronald Kiandee
Terima kasih Yang Berhormat.
Dato’ Shamsul Anuar Nasarah - Lenggong
Saya fikir itu sahaja dan saya mengucapkan terima kasih, cuma akhirnya Tuan Yang di-Pertua, saya minta perkhidmatan Pos Malaysia ditingkatkan khususnya di kawasan Parlimen Lenggong, terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Datuk Ronald Kiandee
Yang Berhormat, saya cuma boleh memanggil tiga orang sahaja lagi, jika kita maintain 10 minit. Adakah kita mahu mengurangkan lima minit?
Puan Teo Nie Ching - Serdang
[Bercakap tanpa menggunakan pembesar suara]
Timbalan Yang di-Pertua - Datuk Ronald Kiandee
Itu kena buat usul.
Puan Teo Nie Ching - Serdang
Tolonglah.
Timbalan Yang di-Pertua - Datuk Ronald Kiandee
Tidak ada usul Yang Berhormat. Baiklah Yang Berhormat Serdang.
Puan Teo Nie Ching - Serdang
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua kerana memberikan peluang kepada saya untuk menjunjung kasih atas Titah Tuanku Yang di- Pertuan Agong. Pada 12 Mac merupakan World Day Against Cyber Censorship dengan izin, tahun ini sempena sambutan World Day Against Cyber Censorship, the Reporters Without Border dengan izin, telah melancarkan satu laporan ‘The Enemies of Internet’ ataupun musuh internet. Dalam laporan tersebut 10 negara telah disenaraikan sebagai musuh internet’, manakala Malaysia bersama 15 buah negara lain lagi telah disenaraikan sebagai negara di bawah pengawasan. Syabas kepada Kerajaan Barisan Nasional. Bukan itu sahaja kedudukan Malaysia dalam World Press Freedom Index, dengan izin, pada tahun 2010 telah jatuh daripada kedudukan ke-131 pada tahun 2009 kepada kedudukan ke-141 pada tahun 2010, tahniah sekali lagi kepada kerajaan BN.
Tuan Yang di-Pertua kedudukan Malaysia yang begitu teruk dan imej yang begitu memalukan adalah diakibatkan oleh tingkah laku kita sendiri.
Puan Teo Nie Ching - Serdang
Sebagai contoh semasa perhimpunan Anti-Perkauman yang telah dianjurkan pada 27 Februari yang lalu, PDRM telah menangkap 109 orang peserta. Isu pertama adalah kenapa pihak polis perlu menangkap mereka yang berhasrat untuk menyertai perhimpunan anti racist itu. Adakah kerana kerajaan Barisan Nasional adalah sebuah kerajaan yang menyokong perkauman? Isu yang kedua ialah isu yang lebih penting adalah kenapa pihak polis menahan dan menangkap tiga orang wartawan yang bertugas pada hari tersebut?
Mereka berada di sana untuk rekod apa yang telah berlaku sahaja.
Puan Teo Nie Ching - Serdang
Sebenarnya tanggungjawab PDRM adalah untuk melindungi wartawan dan bukan tangkap mereka. Jadi, untuk memperbaiki imej Malaysia di mata masyarakat antarabangsa, saya haraplah bahawa kerajaan kita bolehlah memberi satu penjelasan yang munasabah kenapa ketiga-tiga orang wartawan tersebut telah ditangkap dan memberi jaminan bahawa Kerajaan Barisan Nasional tidak akan ganggu kerja wartawan pada masa yang akan datang. Satu langkah lagi yang boleh memperbaiki nama baik negara kita adalah mengulang kaji atau memansuhkan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984. Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri telah berkata bahawa pihaknya telah meminta Jabatan Peguam Negara mengkaji definisi penerbitan dalam akta itu sama ada ia boleh meliputi terbitan dalam bentuk multimedia termasuk kandungan internet, Facebook, dan lain-lain. Pindaan-pindaan yang dicadangkan oleh beliau hanya akan menghakiskan nama baik negara kita.
Pindaan-pindaan yang kita perlu sekarang adalah memansuhkan bahagian di mana Yang Berhormat Menteri Dalam Negeri diberi kuasa muktamad atau budi bicara dalam meluluskan sesuatu atau membantahkan permit penerbitan. Ia telah lama kita dengar bahawa Kerajaan Persekutuan berniat untuk menubuhkan satu majlis media untuk memastikan kebebasan media. Akan tetapi hingga hari ini kita tidak dengar apa-apa perkembangan. Jadi, saya haraplah bahawa apabila menggulung perbahasan ini, Yang Berhormat Menteri Dalam Negeri bolehlah memberi satu jawapan.
Isu kedua yang saya mahu sentuh pada hari ini adalah tentang Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC). Yang Amat Berhormat Perdana Menteri saran rakyat mempelajari bahasa Mandarin. Demikianlah antara tajuk berita yang dilaporkan selepas Yang Amat Berhormat Perdana Menteri menghadiri majlis makan malam sempena ulang tahun ke-90 Sekolah Menengah Persendirian Chong Hwa di Kuala Lumpur pada 14 Disember 2009. Kehadiran Yang Amat Berhormat Perdana Menteri telah digemparkan oleh media cetak bahasa Cina dan pertubuhan-pertubuhan Cina. Misalnya Sin Chew Daily, pada 14 Disember 2009 telah menonjolkan hujah Yang Amat Berhormat Perdana Menteri bahawa Sekolah Menengah Persendirian Cina merupakan aset penting negara yang melahirkan bakat-bakat yang unggul. Komuniti Cina telah dilambung dengan harapan yang tinggi lantaran penampilan sedemikian. Masing-masing menjangkakan sesuatu daripada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri sama ada dalam bentuk gula ataupun pengumuman dasar baru terhadap SMPC seperti mengiktiraf sijil SMPC.
Walau bagaimanapun, komuniti Cina ditimpa kecewakan yang menjunam dari lambungan harapan selepas Yang Amat Berhormat Perdana Menteri berucap kira-kira 30 minit pada malam tersebut tiada sebarang pengumuman penting dari segi dasar untuk sekolah aliran bahasa Cina. Masa, sisa gula pun tidak diberikan, bukan sahaja telah lama sijil SMPC tidak diiktiraf oleh kerajaan kita tetapi sekarang apabila komuniti Cina mengeluarkan satu permintaan untuk membuka SMPC yang baru, permintaan mereka juga tidak tercapai. Sekarang, kita mempunyai 60 buah SMPC di seluruh Malaysia tetapi bilangan tersebut adalah amat tidak mencukupi.
Terdapat banyak permintaan untuk pembukaan pendirian SMPC di seluruh negara. Misalnya di Pahang, dahulunya di Pahang kita mempunyai 8 buah SMPC tetapi sekarang semuanya telah tutup. Sebuah SMPC pun tidak ada di Pahang sekarang. Ibu bapa yang menyokong pendidikan aliran bahasa Cina dan ingin menghantar anak-anak mereka ke SMPC, mereka terpaksa hantar anak-anak mereka ke SMPC di luar Pahang seperti di Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang, dan lain-lain.
Puan Teo Nie Ching - Serdang
Sekarang, di negeri Pahang, lebih daripada 1,000 pelajar yang terpaksa pergi ke SMPC di negeri yang lain untuk menuntut pelajaran. Walaupun mereka ada yang hanya berumur 13 tahun, mereka terpaksa berpisah dengan ibu bapa mereka kerana di Pahang tiada sebuah pun SMPC.
Oleh yang demikian, sudah lama telah menjadi hasrat komuniti Cina di Pahang supaya SMPC Kuantan yang telah ditutup pada tahun 1963 dibuka semula. Pada 29 Ogos 2010, Jawatankuasa SMPC Kuantan telah menghantar satu memorandum mereka kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri. Akan tetapi sehingga sekarang telah hampir tujuh bulan, mereka tidak menerima apa-apa balasan dari Yang Amat Berhormat Perdana Menteri ataupun Kementerian Pelajaran Malaysia. Pada 7 Januari tahun ini, satu kenyataan rasmi telah keluar di dalam laman web Kementerian Pelajaran Malaysia yang berbunyi seperti berikut:
“Kementerian Pelajaran Malaysia ingin merujuk kepada berita dalam akhbar China Press bertarikh 29 Disember 2010. Komuniti Cina di Pahang gesa kebenaran mendirikan SMPC di Kuantan segera diluluskan.
Pembinaan sekolah swasta Cina di Kuantan tidak boleh dipertimbangkan pada masa ini dan pada masa akan datang. Ini kerana dasar kerajaan ingin mengekalkan 60 buah SMPC yang sedia ada. Pembinaan SMPC tidak mencerminkan konsep pendidikan secara holistik. Kerajaan ingin melihat perpaduan di antara kaum terus kekal dan mempunyai sikap hormat menghormati antara satu sama lain. Sehubungan itu, kerajaan menggalak semua kaum di negara ini belajar di sekolah bantuan penuh kerajaan’.
Akan tetapi amat pelik kenyataan rasmi ini ditarik balik beberapa jam kemudian.
Walaupun begitu, kita sehingga sekarang tidak pasti kenyataan rasmi itu ditarik balik kerana isi kandungannya kurang tepat ataupun kerana pada waktu itu pilihan raya kecil Tenang sudah hampir. Ia bukan sahaja di Kuantan ada permintaan untuk mendirikan SMPC yang baru, tetapi di Segamat Johor. Rakyat di sana juga harap bahawa sebuah SMPC yang baru boleh didirikan.
Sebenarnya untuk kedua-dua SMPC di Kuantan ataupun Segamat ini tapak telah ada, duit bukan satu masalah, bilangan pelajar juga bukan satu isu, apa yang perlu sekarang adalah satu kertas kelulusan daripada Kerajaan Pusat. Akan tetapi sehingga hari ini, kita tidak dapat apa-apa berita yang bagus daripada Kerajaan Pusat. Jadi saya haraplah bahawa Kerajaan Pusat bolehlah buat satu pendirian yang tegas sama ada mereka akan melayan permintaan seperti ini dan janganlah tunggu sehingga pilihan raya Sarawak. Ini kerana sekiranya Barisan Nasional memang adalah sahabat sejati pendidikan sekolah cina, janganlah guna SMPC sebagai umpan untuk memancing undi. Sekian sahaja, sekali lagi...
Timbalan Yang di-Pertua - Datuk Ronald Kiandee
Ya.
Puan Teo Nie Ching - Serdang
Saya ucapkan terima kasih kepada Tuan Yang di-Pertua kerana memberi peluang kepada saya.
Timbalan Yang di-Pertua - Datuk Ronald Kiandee
Saya mahu beri orang Sarawak untuk berucap Yang Berhormat. Yang Berhormat Lanang.
Datuk Tiong Thai King - Lanang
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua kerana memberi peluang kepada saya untuk membahaskan titah ucapan perasmian oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Sehubungan itu, saya ingin membentangkan beberapa isu seperti berikut.
Pertama, Klinik 1Malaysia. Tuan Yang di-Pertua, kerajaan telah menyediakan tiga buah Klinik 1Malaysia di bandar Sibu. Namun, ketiga-tiga klinik tersebut adalah di dalam kawasan Parlimen Sibu P212 iaitu di Teku, Bawang, Asang, dan Pelawan. Saya merayu kepada kerajaan supaya sebuah Klinik 1Malaysia turut didirikan di Pasar Durin sebuah pekan utama di dalam kawasan Parlimen P211 Lanang telah menyediakan klinik tersebut.
Datuk Tiong Thai King - Lanang
Lebih 3,000 orang penduduk di Pasar Durin dan juga sepanjang 50 buah rumah- rumah panjang akan menikmati kemudahan-kemudahan perubatan dengan mudahnya.
Memandangkan Pasar Durin terletak lebih kurang 50 kilometer daripada pusat Bandar Sibu, saya minta agar Kementerian Kesihatan dapat mengkaji kemungkinan untuk menggabungkan Klinik Desa Pasar Durin dengan Klinik 1Malaysia yang dicadangkan iaitu Tuan Yang di-Pertua Klinik 2 in 1.
Datuk Tiong Thai King - Lanang
Kedua, poliklinik di Sibu Jaya. Tuan Yang di-Pertua, bagi pihak penduduk- penduduk di Sibu Jaya, saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada kerajaan kerana telah meluluskan pembinaan sebuah poliklinik di Sibu Jaya dalam RMKe-10. Saya difahamkan bahawa proses tender sedang giat dijalankan ataupun telah siap diproses.
Saya menyeru agar pembinaan poliklinik dimulakan dengan segera. Poliklinik yang disiapkan nanti akan memberi manfaat sambil mempertingkatkan keselamatan, kepakaran bagi penduduk-penduduk di Sibu Jaya memandangkan Balai Bomba Sibu yang terdekat adalah lebih kurang 30 kilometer dari Sibu Jaya.
Ketiga Tuan Yang di-Pertua, jalan dari Sungai Asap ke Durin. Bagi pihak penduduk-penduduk di kawasan Sungai Asap dan Durin, saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada kerajaan kerana telah menyiapkan fasa 1 projek jalan yang menghubungkan Sungai Asap dari jambatan Sungai Asap ke pasar Durin. Fasa 1 projek jalan tersebut adalah peruntukan di bawah NKRA melalui Kementerian Luar Bandar dan Wilayah yang membelanjakan kos sebanyak RM6 juta.
Saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kerajaan atas keberkesanan dalam melaksanakan projek-projek dalam tempoh setahun yang lepas. Jalan tersebut telah memudahkan penduduk-penduduk di kawasan Durin untuk mengasaskan bandar Sibu demi perkhidmatan dan barangan seharian. Sehubungan itu, saya merayu agar kerajaan untuk meneruskan fasa 2 projek tersebut yang melibatkan kos sebanyak kira- kira RM5 juta untuk menyiapkan bahagian jalan sepanjang tiga kilometer yang tertinggal.
Keempat Tuan Yang di-Pertua, pembangunan sektor pertanian dan perikanan di Tanjong Manis. Tuan Yang di-Pertua, Tanjong Manis merupakan satu hab pembangunan baru di negeri Sarawak. Beberapa projek infrastruktur dan perindustrian utama telah dilaksanakan dan dirancang melalui pembangunan SCORE iaitu Sarawak Corridor of Renewable Energy. Dengan peranannya sebagai pelabuhan laut dalam, Tanjong Manis mempunyai potensi yang amat besar dalam masa akan datang. Selain daripada sektor perindustrian dan pengangkutan, saya bercadang agar kerajaan mengkaji kemungkinan untuk membangunkan pembangunan sektor pertanian secara besar-besaran di Tanjong Manis. Tanjong Manis merupakan sebuah kawasan delta erosion yang sumber bagi tujuan pertanian seperti tanaman padi.
Di samping itu, kawasan pinggir laut juga sesuai dengan sektor perikanan ataupun akuakultur. Justeru, saya merayu kepada kerajaan agar membuat perancangan secara aktif untuk memajukan pertanian dan perikanan di kawasan Tanjong Manis demi memenuhi keperluan bekalan makanan tempatan yang kini telah meningkat kepada lebih kurang 30 peratus daripada jumlah eksport negeri ini. Pembangunan industri pertanian dan perikanan juga akan menyediakan peluang-peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan dan juga peluang eksport.
Kelima Tuan Yang di-Pertua, Jambatan Lanang. Jambatan Lanang Sungai Asap ialah menjadi salah satu link yang penting bagi Pan Borneo Highway semenjak dibuka dalam tahun 2006. Ia juga menjadi hubungan penting bagi penduduk-penduduk di kedua- dua belah tebing Sungai Rajang. Ramai penduduk di kawasan Sungai Asap perlu menggunakannya untuk pergi ke bandar Sibu bagi tujuan bekerja, menghantar hasil kebun dan ladang, belajar dan sebagainya. Mereka terpaksa membayar sejumlah bayaran tol yang amat tinggi untuk tujuan tersebut kepada syarikat yang membina jambatan tersebut.
Datuk Tiong Thai King - Lanang
Oleh itu Tuan Yang di-Pertua, Pasukan Pembangunan Berwawasan Barisan Nasional Sibu melalui Yang Berhormat Datuk Seri Wong Soon Koh, Menteri Kewangan II merangkap Menteri Alam Sekitar dan Kesihatan Awam telah merayu kepada pihak Kerajaan Persekutuan supaya mengambil alih jambatan tersebut supaya penduduk- penduduk tempatan dapat menggunakan jambatan ini secara percuma dan seterusnya mengurangkan beban mereka. Saya ingin tahu status permohonan tersebut.
Akhir Tuan Yang di-Pertua, tunggakan bayaran kompaun letak kereta di Sibu.
Seperti PBT lain di negara ini, Majlis Perbandaran Sibu menghadapi masalah menuntut tunggakan bayaran kompaun kesalahan kereta yang amat serius walaupun majlis tersebut telah mengambil tindakan mahkamah untuk menuntut tunggakan tersebut. Proses berkaitan amat mahal dan mengambil masa panjang. Saya merayu agar Jabatan Pengangkutan Jalan turut mengambil tindakan seumpama dengan saman pihak polis untuk menyenaraihitam kereta-kereta yang mempunyai tunggakan bayaran saman supaya ditahan daripada pembaharuan cukai jalan. Saya berpendapat bahawa itulah satu-satunya cara yang paling berkesan untuk menyelesaikan masalah tunggakan bayaran kompaun kereta-kereta untuk semua PBT di Malaysia. Oleh itu, saya minta kerajaan mengambil tindakan segera untuk meminta Akta Pengangkutan Jalan 1987 supaya hasrat Sibu tercapai dengan segera. Sekian, terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Datuk Ronald Kiandee
Ya, yang akhir daripada sebelah sini. Yang Berhormat Hulu Langat.
Dr. Che Rosli Che Mat - Hulu Langat
Assalammualaikum warahmatullaahi wabarakaatuh, salam sejahtera. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua kerana memberi peluang untuk saya mengambil bahagian dalam perbahasan Titah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong. Saya juga ingin merakamkan ucapan takziah kepada kerajaan Jepun dan rakyatnya di atas bencana alam yang menimpa mereka baru-baru ini.
Saya sedih dalam keadaan bencana tersebut, media dan individu tertentu memainkan peranan memburukkan lagi keadaan ekoran daripada kerosakan reaktor nuklear Fukushima Daiichi. Sebenarnya reaktor berkenaan adalah jenis Boiling Water Reactor (BWR) seumpama pressure cooker, dengan izin dan tindak balas rantaian neutron dalam reaktor dapat diberhentikan secara automatik. Oleh sebab sistem penyejuknya tidak dapat mengalir ekoran dari ketiadaan bekalan elektrik, maka suhu meningkat menyebabkan berlaku kebakaran bahagian atas reaktor sahaja dan mereka juga membebaskan tekanan dalam reaktor menyebabkan sedikit sesium dan iodin terbebas.
Dr. Che Rosli Che Mat - Hulu Langat
Akan tetapi akhirnya mereka berjaya menyejukkan reaktor dengan menggunakan pam bergerak untuk mengepam air laut dan dapat mengawal keadaan dan level radioaktif yang terlepas ke udara. Merujuk reaktor ketiga yang kebetulan level air penyejuknya rendah dan apabila dimasukkan air menyebabkan berlakunya penguraian hidrogen dan oksigen.
Dengan adanya oksigen di udara maka berlaku letupan. Akan tetapi core reactor yang dibina sejak tahun 60-an itu masih dalam keadaan yang baik.
Berdasarkan pengalaman di atas sekiranya kita ingin membina reaktor nuklear maka pertama, saya mencadangkan spesifikasi mestilah memenuhi kehendak keselamatan yang tinggi hingga mampu berdepan dengan bencana alam...
Tuan P. Kamalanathan a/l P. Panchanathan - Hulu Selangor
Yang Berhormat Hulu Langat...
Dr. Che Rosli Che Mat - Hulu Langat
...Kedua, membangunkan modal insan yang pakar dan mampu berdepan dengan masalah bencana alam...
Timbalan Yang di-Pertua - Datuk Ronald Kiandee
Hendak bagi jalan Yang Berhormat?
Dr. Che Rosli Che Mat - Hulu Langat
...Jangan mengambil pengajaran bagi kemalangan di Jepun semata-mata untuk...
Tuan P. Kamalanathan a/l P. Panchanathan - Hulu Selangor
Minta laluan sedikit.
Timbalan Yang di-Pertua - Datuk Ronald Kiandee
Tidak bagi jalan, Yang Berhormat.
Dr. Che Rosli Che Mat - Hulu Langat
Menekan supaya pembangunan reaktor nuklear tidak boleh dibangunkan.
Cadangan kita hanya menyatakan nuklear merupakan opsyen kepada energy mix, dengan izin. Sekiranya sumber-sumber lain boleh mencukupi dalam menjana dan menstabilkan tenaga negara maka nuklear merupakan opsyen dan kita berharap tidak ada pengaruh daripada luar untuk kita membina reaktor nuklear. Walau bagaimanapun, persiapan untuk membangunkan modal insan perlu diteruskan dan keputusan kerajaan dalam menentukan tapak-tapak tertentu dan juga membuat pemantauan SINARAN sekarang ini perlu diumumkan kepada masyarakat umum.
Tuan Yang di-Pertua, merujuk Perkara 11 yang menyentuh Transformasi Pendidikan, Perkara 12 mengenai Kemahiran Dalam Teknologi Maklumat, Komunikasi dan Vokasional dan Perkara 13 mengenai Talent Corporation. Saya bersetuju dengan Yang Berhormat Putatan iaitu yang menyebut di samping penubuhan Talent Corporation maka kerajaan juga perlu memastikan infrastruktur sekolah dan kemudahan asas adalah cukup bagi membolehkan pembelajaran yang selesa dalam membangunkan modal insan yang berpengetahuan, berkemahiran tinggi dan mempunyai minda kelas pertama.
Saya ingin merujuk keperluan sekolah rendah dan menengah di Parlimen saya iaitu Parlimen Hulu Langat. Pertama, kerajaan telah berjanji sejak Januari 2008 lagi untuk membina dua buah sekolah jenis kebangsaan Cina di Sungai Long dan Kajang. Akan tetapi sampai sekarang tidak terbina sekolah berkenaan walaupun tapak sudah sedia ada.
Untuk pengetahuan Tuan Yang di-Pertua, penduduk Sungai Long dan Bandar Mahkota Cheras menghampiri 90,000 orang, 90 peratus adalah masyarakat Cina. Seramai hampir 2,200 kanak-kanak keluar setiap hari dari Sungai Long dan Bandar Mahkota Cheras mencari SJKC di Kampung Baru Batu 9, Balakong, Kajang, Sungai Chua, Semenyih, Beranang dan lain-lain hingga menyebabkan jumlah murid dalam satu kelas menjangkau 50 orang. Perjalanan mereka ke sekolah kebiasaannya terperangkap dengan kesesakan jalan raya. Saya berharap kerajaan dapat mempertimbangkan dengan sewajarnya.
Kedua, Sunway Semenyih dan Desa Mewah yang mempunyai purata penduduk lebih 6,000 orang dan sudah lama mempunyai tapak untuk sekolah rendah dan menengah.
Sekiranya sekolah ini dibina dapat mengatasi masalah kesesakan pelajar di SRK Semenyih dan Sekolah Menengah Kebangsaan Engku Husain, Semenyih serta dapat membantu menjaga keselamatan pelajar dalam kesibukan kenderaan di jalan besar Semenyih.
Ketiga, Sungai Ramal yang sudah pun mendapat geran pengambilan guru bagi menampung pelajar Sungai Ramal, Seksyen 7 dan Seksyen 8, Bandar Baru Bangi dan Desa Surada.
Keempat, Batu 18, Dusun Tua bagi menampung pelajar sekitar Kuala Pangsun, Lubuk Kelubi, Kampung Jawa dan Lui bagi mengurangkan kesesakan di Sekolah Menengah Abdul Jalil, Batu 14, Dusun Tua.
Tuan Yang di-Pertua, saya juga ingin mendapat penjelasan. Pertama, sejauh manakah pembangunan sekolah vokasional yang diumumkan oleh Yang Berhormat Menteri Pelajaran tahun lepas berjalan? Jumlah bilangan pelajar yang berminat memasuki sekolah vokasional berkenaan dan guru-guru terlatih yang terlibat dalam usaha memperkasakan latihan kemahiran serta peluang mereka melanjut pelajaran sehingga ke peringkat universiti.
Dr. Che Rosli Che Mat - Hulu Langat
Kedua, bagaimana pula kedudukan status Tingkatan 6? Adakah sistem pengajian mereka akan diselaraskan dengan sistem pengajian universiti baik dari segi sesi pengajian dan juga kurikulum mereka? Baru-baru ini Yang Berhormat Menteri Pelajaran telah mengumumkan pelajar lulusan STAM boleh memasuki institut perguruan. Jadi apakah langkah-langkah yang perlu kita ambil bagi membolehkan mereka memasuki institut perguruan?
Ketiga, saya ingin mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada kementerian kerana memperuntukkan sebanyak RM95 juta untuk sekolah agama rakyat. Kerajaan Selangor juga memperuntukkan RM6 juta untuk sekolah agama rakyat Selangor. Apakah langkah kementerian dalam membantu menaiktarafkan bangunan-bangunan sekolah agama rakyat dan memastikan kurikulum pendidikan agama mereka terus kekal malah dapat dipertingkatkan?
Tuan Yang di-Pertua, merujuk kepada Perkara 13, mengenai Talent Corporation yang kerajaan terpaksa membelanjakan wang yang besar bagi membawa balik modal insan yang berkualiti. Saya juga ingin mencadangkan supaya yang pertama, masih ramai siswazah yang menganggur - saya difahamkan sehingga 2010 sebanyak 40,000 siswazah masih belum mendapat kerja.
Maka saya berharap sebahagian dari peruntukan itu dapat digunakan untuk melatih mereka secara intensif dalam pelbagai bidang yang dikendalikan oleh, umpamanya INTAN sebagai yang berlaku dalam tahun 70-an dan 80-an. Umpamanya siswazah lulusan kejuruteraan elektrik dan elektronik mampu dibentuk menjadi pegawai kewangan yang baik.
Siswazah lulusan Sains Nuklear berjaya menjadi pegawai bomba dan penyelamat malah menjadi pengarah di peringkat negeri atau menjadi pegawai imigresen yang baik.
Kedua, kita mempunyai ramai pakar yang berpengalaman dalam berbagai-bagai bidang termasuk sains dan teknologi dan pengurusan serta profesor-profesor dari universiti yang selepas pencen mereka tidak dimanfaatkan kepakaran mereka dalam membantu membangunkan negara dan membimbing generasi pelatih. Umpamanya yang saya tahu, pegawai JUSA C di Nuklear Malaysia tidak dimanfaatkan untuk membantu negara dalam berbagai-bagai bidang atau dalam lain perkataan mereka tidak dilantik sebagai pegawai contract. Apa yang jelas, mereka mungkin lebih loyal kepada negara dari mereka yang dibawa balik dari luar negara. Saya kira kerajaan patut menggalakkan rakyat Malaysia bertugas di luar negara kerana mereka juga dapat mengharumkan nama Malaysia.
Timbalan Yang di-Pertua - Datuk Ronald Kiandee
Yang Berhormat, habiskan Yang Berhormat.
Dr. Che Rosli Che Mat - Hulu Langat
Tuan Yang di-Pertua, yang terakhir saya juga ingin mendapat penjelasan dari Kementerian Kesihatan mengenai pemantauan keselamatan dan kesihatan pekerjaan - occupational health and safety, terutama terhadap pengamal pergigian (dentist) yang menggunakan bahan amalgam yang mengandungi raksa untuk memalam atau menutup lubang gigi pesakit serta mengendalikan punca radioaktif untuk x-ray gigi kerana saya difahamkan ramai pengamal pergigian (dentist) dan pembantu mereka mengidap barah.
Saya berharap mereka diberi kemudahan peralatan pelindungan keselamatan semasa mereka bekerja dan diberi bimbingan yang cukup oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) atau oleh Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan
(NIOSH). Sekian, terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Datuk Ronald Kiandee
Ahli Yang Berhormat, saya cuma boleh memanggil seorang sahaja. Akan tetapi kalau boleh berunding bagi lima minit seorang untuk Yang Berhormat Maran dan Yang Berhormat Tangga Batu.
Datuk Ir. Haji Idris bin Haji Haron - Tangga Batu
Tangga Batu dahulu, lima minit.
Dato’ Ismail bin Abd. Muttalib - Maran
Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Datuk Ronald Kiandee
Sudah habis sudah.
Datuk Ir. Haji Idris bin Haji Haron - Tangga Batu
Tangga Batu dahulu, Tuan Yang di-Pertua.
Timbalan Yang di-Pertua - Datuk Ronald Kiandee
Yang Berhormat Maran.
Datuk Ir. Haji Idris bin Haji Haron - Tangga Batu
Yang Berhormat Maran dahulu.
Dato’ Ismail bin Abd. Muttalib - Maran
Terima kasih. Tuan Yang di-Pertua terima kasih. Walaupun pendek tetapi ada. Tuan Yang di-Pertua, terima kasih atas membenarkan saya untuk turut membahaskan Titah Ucapan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong semasa merasmikan persidangan Parlimen baru- baru ini. Saya secara rendah diri memanjatkan junjung kasih di atas keprihatinan ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di atas menyentuh semua aspek kehidupan masyarakat di negara kita ini.
Tuan Yang di-Pertua, kesempatan ringkas juga saya hendak ambil di sini untuk mengucapkan tahniah dan syabas di atas hubungan mantap dua pemimpin atasan negara kita Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak dan Yang Amat Berhormat Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin bin Mohd.
Yassin di dalam memikul amanah dan tanggungjawab besar mentadbir negara. Walaupun mereka terpaksa berhadapan dengan seribu satu macam cabaran yang lazim dihadapi oleh mana-mana pemimpin di mana-mana negara, tetapi juga masalah-masalah yang sengaja diadakan oleh pihak-pihak yang hasad dengki, yang berkepentingan peribadi dan mempunyai cita-cita singkat semata-mata untuk menguasai negara ini.
Dato’ Ismail bin Abd. Muttalib - Maran
Tuan Yang di-Pertua, kita bersyukur kepada Tuhan, kepada Allah SWT kerana kita selamat daripada malapetaka yang besar-besar seperti gempa bumi dan juga tsunami dan juga gunung berapi. Alhamdulillah, pesanan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, keamanan, keselamatan dan ketenteraman adalah aset yang penting bagi kita di negara ini.
Walaupun Malaysia menduduki tempat kedua di Asia Tenggara dan ke-22 dalam indeks keamanan dunia tetapi keamanan, kemakmuran dan kesejahteraan yang ada pada hari ini boleh hancur dalam sekelip mata seandainya seluruh masyarakat di negara ini termasuklah kita pemimpin dalam Dewan yang mulia ini tidak bersyukur kepada Allah SWT dan kepada Tuhan di atas nikmat yang Allah berikan kepada kita semua.
Justeru itu, saya menyeru kepada rakan-rakan Ahli-ahli Parlimen sama ada Barisan Nasional dan juga pembangkang, janganlah kita semata-mata ingin berkuasa, mementingkan peribadi dan mempunyai hasrat yang ringkas, kita sanggup mengorbankan, menghancurkan negara kita ini kerana apabila negara kita hancur dan tercebur dalam apa juga malapetaka dan bencana seperti ini, ia tidak akan pilih sama ada yang terlibat itu adalah Barisan Nasional, pembangkang dan sebagainya. Yang penting ialah bagaimana kita boleh mempertahankan kemakmuran dan kesejahteraan ini.
Tuan Yang di-Pertua, sudah tentulah sebagai Ahli Parlimen saya hendak perjuangkan nasib rakyat di kawasan saya. Pertama, saya hendak bawa tentang perkhidmatan awam ini. Saya ucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada pegawai awam kerana mereka ini bertugas, bertungkus-lumus bersama dengan kita dalam membantu kerajaan, melicinkan pentadbiran negara kita.
Saya hendak bertanya kepada kerajaan, berapa ramaikah pegawai awam yang gajinya di bawah daripada RM1,000 dan mungkin bawah lagi daripada RM700 yang tergolong dalam mereka yang berada dalam kategori miskin. Hari ini kita ada kategori masyarakat yang boleh menjadi miskin. Saya kira, sebahagian daripada mereka ini berada dalam kategori ini. Saya ingin tahu berapakah di antara mereka ini yang berada dalam kategori ini?
Saya hendak mencadangkan kepada kerajaan supaya tahun ini kita berikan perhatian kepada kakitangan awam ini. Saya lihat banyak perangkaan yang boleh saya sebutkan di sini umpamanya jumlah pegawai awam yang ditangkap oleh SPRM 190 orang pada tahun 2009, 290 - 2010 dan sehingga kini 191 orang.
Dato’ Ismail bin Abd. Muttalib - Maran
Jadi, ini mungkin disebabkan oleh taraf hidup yang tinggi dan mereka terpaksa bersaing dan kita harap supaya perhatian dapat diberikan kepada mereka. Kalau boleh Tuan Yang di-Pertua, kerajaan mahu menimbangkan supaya tahun ini diberikan bonus kepada pegawai awam kita dan berikan kemudahan-kemudahan lain yang berfaedah kepada mereka.
Tuan Yang di-Pertua, tentang kemudahan kesihatan. Saya minta supaya kerajaan berikan perhatian. Jangan tinggalkan cadangan saya untuk memasukkan pembinaan hospital baru Maran dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh dan satu lagi ialah pembinaan klinik desa di Kampung Sentosa yang telah pun dijanjikan oleh kerajaan dan saya kira Yang Berhormat Timbalan Menteri Kesihatan telah bersetuju untuk klinik ini dibina.
Yang berikutnya Tuan Yang di-Pertua ialah masalah TNB. Saya lihat baru-baru ini saya dimaklumkan oleh penduduk kawasan saya, bekalan api rumah mereka dipotong semata-mata kerana mereka menggunakan bekalan-bekalan elektrik yang kurang daripada apa yang mereka mohon. Akhirnya, mereka dipotong. Jadi, saya minta supaya perkara ini dapat diselesaikan dan apakah sebabnya? Kalau boleh bagaimana kerajaan mengambil tindakan supaya isu seperti ini tidak berlaku lagi.
Akhir Tuan Yang di-Pertua ialah tentang keperluan jalan raya. Saya minta benarlah kepada Menteri Kerja Raya. Jalan daripada Kampung Awah ke Maran, daripada Maran ke Tol Awah, keadaan jalan ini cukup teruk dan perlu dibaiki segera. Ini telah menjadi isu yang cukup besar, keluar dalam surat khabar dan Sinar. Jadi, saya kira, saya ingat Yang Berhormat Menteri akan jawab mesti lulus.
Jadi Tuan Yang di-Pertua, saya kira itulah antara perkara yang dapat saya bawa walaupun banyak perkara lain yang perlu kita berikan perhatian tetapi yang terakhirnya ialah Tuan Yang di-Pertua, saya minta hendak tahu bagaimana perkembangan persatuan belia akhir ini? Apakah kesannya akibat daripada kita meluluskan Akta Belia baru-baru ini?
Saya difahamkan banyak persatuan lembap dan tidak bergerak. Saya minta supaya Yang Berhormat Menteri memberikan penjelasan dan berikan perangkaan kepada saya dalam jawapannya nanti. Tuan Yang di-Pertua, saya mohon menyokong. Terima kasih banyak.
Timbalan Yang di-Pertua - Datuk Ronald Kiandee
Ya, pembahas yang terakhir, pembahas ke-90. Yang Berhormat Tangga Batu.
Datuk Ir. Haji Idris bin Haji Haron - Tangga Batu
Terima kasih Tuan Yang di- Pertua, angka 90 itu baik untuk saya. Tuan Yang di-Pertua, saya dapat melihat, menyimpulkan Titah Ucapan Baginda menampakkan rasa senang hatinya Baginda kepada Mamandanya yang bekerja kuat ke arah mengangkat Malaysia ke satu tahap yang dihormati dan disegani oleh rakan dan lawan di seluruh dunia ini.
Tuan Yang di-Pertua, ringkas. Tuan Yang di-Pertua beri lima minit. Saya cuba hendak cover apa yang kawan-kawan tidak sebut. Nampaknya Yang Berhormat Maran macam tahu apa yang saya hendak cakap berkenaan dengan pembangunan belia. Tuan Yang di-Pertua, kita dapat melihat Kementerian Belia dan Sukan pada hari ini benar-benar telah dapat mengangkat nama sukan negara. Kita telah menyerlah di bidang bola sepak, langkah pertama yang agak hebat. Begitu juga dengan bidang badminton dan lain-lain sukan yang lain.
Malangnya, kita perlu melihat banyak rungutan dan banyak juga komen-komen daripada pertubuhan belia yang hari ini seolah-olah merasakan mereka seperti dianaktirikan. Sekejap dahulu kita dapati pertubuhan belia ini amat berpuas hati dengan peruntukan pentadbiran yang disediakan oleh kerajaan yang boleh menampung kegiatan belia ini dalam masa setahun.
Selepas peruntukan ini ditarik semula, nampaknya gerakan-gerakan belia ini, hari ini hendak kata di atas tidak, di bawah pun tidak. Mereka memulangkan kembali permasalahan ini kepada Ahli-ahli Parlimen, wakil-wakil rakyat yang bebannya hari ini terpaksa dikongsi bersama.
Datuk Ir. Haji Idris bin Haji Haron - Tangga Batu
Jadi, harapan saya supaya pihak Kementerian Belia dan Sukan dapat memerhatikan kemelut pertubuhan belia ini dan berikan mereka ruang dalam bentuk peruntukan Ringgit Malaysia ini supaya mereka dapat bergerak sebagai pertubuhan belia yang benar-benar dapat menjurus kepada perwujudan Malaysia sebagai sebuah negara maju di masa akan datang. Saya minta Kementerian Belia dan Sukan beri ukuran yang tepat pada hari ini sama ada bersedia atau tidak belia-belia kita ini untuk mengisi masa negara maju.
Kedua Tuan Yang di-Pertua, agak ringkas. Hari ini saya dikejutkan dengan satu berita tentang bagaimana kita mengawal kualiti guru-guru di negara kita. Unified Examination Certificate (UEC) hari ini telah diterima sebagai salah satu syarat untuk memasuki sekolah, untuk memasuki institusi perguruan, meletakkan syarat empat kredit berbanding dengan SPM yang memerlukan tiga distinction. Jadi, di manakah kawalan kepada tahap kualiti guru kita nanti walaupun kelulusan UEC ini akan ditetapkan mengajar bahasa Mandarin tetapi minimum standard, piawaian minimum guru-guru kita nanti perlu ada di peringkat kawalan tertinggi oleh pihak kementerian.
Jadi, saya minta Kementerian Pelajaran supaya menetapkan kalau di peringkat SPM kena ada tiga distinction, sekurang-kurangnya di peringkat UEC juga jika mereka menduduki SPM kena ada, kalau tidak empat kredit berbanding dengan tiga distinction itu pun sudah okey tetapi jangan dikurangkan syarat itu. Ini merujuk kepada kenyataan akhbar Presiden MCA pada hari ini.
Ketiga, second last Tuan Yang di-Pertua, Astro. Astro ini ia sudah nampak macam melampau sangat. Sudahlah dikenakan yuran awal, kita kena bayar bulan-bulan.
Kemudian, ada lagi services tambahan, kena bayar lagi. Kemudian, tidak pernah diambil kira pula jika service mereka terganggu, perkhidmatan terganggu dua tiga hari. Tidak ada pula ditolak balik, dibayar balik kepada kita. Jadi, tengok sifat Astro ini.
Timbalan Yang di-Pertua - Datuk Ronald Kiandee
Termasuk terganggu masa hujan Yang Berhormat.
Datuk Ir. Haji Idris bin Haji Haron - Tangga Batu
Ha, termasuk masa hujan.
Tuan Yang di-Pertua menyampuk itu, maknanya boleh sambung lagi lima minit tetapi saya tidak sambung.
Jadi Tuan Yang di-Pertua, di sana kita melihat bila ada pemikiran monopolistic itu, syarikat pembekal perkhidmatan itu jadi melampau batas. Jadi, saya minta kementerian di bawah Yang Berhormat Jelebu, Yang Berhormat Menteri Penerangan ini untuk memerhati, beri satu kawalan yang terperinci.
Di bawah kementerian yang sama juga saya minta supaya Yang Berhormat mengkaji semula penjawat-penjawat di dalam syarikat telekomunikasi negara (TELCO).
Tuan Yang di-Pertua, sekarang ini perang semua pakai satelit. Semua pakai satelit. Dia boleh tahu musuh dekat mana, askar dekat mana dan sebagainya. Jadi, kalau penjawat tinggi di syarikat telekomunikasi negara ini yang mengawal aspek-aspek sekuriti negara ini dipegang oleh orang luar macam mana? Jadi, saya minta supaya ia dikaji semula, letakkan, bukan kurang anak-anak tempatan, Melayu, Cina, India, anak Malaysia ini yang mempunyai kepakaran yang tinggi dalam bahagian telekomunikasi ini. Jadi minta tolong.
Akhir sekali AirAsia. AirAsia ini pun nampaknya sudah ada juga pemikiran monopolistic. Mentang-mentanglah semua pakai AirAsia. Sekarang ini dia sudah sombong sikit Tuan Yang di-Pertua. Kalau kita terlewat sedikit, dia batalkan, kita rugi. Tiket langsung tidak boleh pakai. Kalau kita beratur, tinggal seorang lagi, kaunter tutup, tutup. Dia kata you are late. Ini semua sifat-sifat sombong yang telah wujud dalam syarikat-syarikat yang sepatutnya mengangkat nama negara dalam etika penyediaan perkhidmatan kepada...
Timbalan Yang di-Pertua - Datuk Ronald Kiandee
Kerajaan sudah bina...
Datuk Ir. Haji Idris bin Haji Haron - Tangga Batu
Tuan Yang di-Pertua, saya janji.
Timbalan Yang di-Pertua - Datuk Ronald Kiandee
Sebentar Yang Berhormat.
Kerajaan sudah bina airport besar dekat terminal Kota Kinabalu. AirAsia tidak hendak pindah ke sana.
Datuk Ir. Haji Idris bin Haji Haron - Tangga Batu
AirAsia tidak hendak pindah?
Jadi, lebih kurang sombonglah. Jadi, kita perlu ingatkan bahawa perlu ada pasaran...
Ir. Haji Hamim bin Samuri - Ledang
Saya sokong.
Datuk Ir. Haji Idris bin Haji Haron - Tangga Batu
Dan perlu ada pelanggan.
Perlu ada pembekal dan perlu ada pelanggan. Nanti, pelanggan marah, habis pembekal.
Saya tidak maju sebut yang itu. Yang Berhormat Arau kata CEO tidak betul tetapi saya tidak komen yang itu.
Jadi Tuan Yang di-Pertua saya ucap terima kasih menjadi pembahas yang ke-91...
Timbalan Yang di-Pertua - Datuk Ronald Kiandee
Datuk Ir. Haji Idris bin Haji Haron - Tangga Batu
Ke-90. Saya ucap tahniah kepada semua Ahli Parlimen yang membahaskan dengan baik, cukup berkualiti perbahasan kita pada hari ini.
Timbalan Yang di-Pertua - Datuk Ronald Kiandee
Macam Perdana Menteri pula Yang Berhormat.
Datuk Ir. Haji Idris bin Haji Haron - Tangga Batu
Terima kasih, selamat bercuti di hujung minggu. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Datuk Ronald Kiandee
Ahli-ahli Yang Berhormat, setakat itulah perbahasan bagi usul Titah Diraja ini.
Saya ingin memaklumkan pada hari Isnin, 21 Mac 2011 selepas sesi pertanyaan- pertanyaan jawapan lisan, kementerian-kementerian akan mula menjawab ke atas perbahasan Titah Diraja.
Untuk makluman Yang Berhormat, Kementerian Pertahanan akan menjadi kementerian pertama yang menggulung pada hari Isnin, 21 Mac 2011. Urutan kementerian- kementerian lain adalah seperti yang diedarkan dalam kertas kuning bertarikh 17 Mac 2011.
Ahli-ahli Yang Berhormat, Mesyuarat Dewan hari ini ditangguhkan sehingga jam 10 pagi, hari Isnin, 21 Mac 2011.
Dewan ditangguhkan pada pukul 5.42 petang.