Katalog Hansard
[Timbalan Yang di-Pertua (Datuk Dr. Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar) mempengerusikan Mesyuarat]
Timbalan Yang di-Pertua - Datuk Dr. Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar
Bismillaahir Rahmaanir Rahiim. Assalamualaikum warahmatullaahi wabarakaatuh. Ahli-ahli Yang Berhormat, dengan sukacitanya saya memaklumkan kepada Majlis ini iaitu pada 7 Mac 2011, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dengan limpah kurnia Baginda telah berkenan menyampaikan Titah Ucapan Diraja dalam Parlimen. Saya telah menerima salinan titah ucapan Seri Paduka Baginda itu dan seterusnya sekarang saya mengarahkan supaya salinan Titah Ucapan itu dibentangkan di atas meja Mesyuarat dan seterusnya dicetak dalam Penyata Rasmi.
[Teks Titah Ucapan adalah seperti di Lampiran]
Timbalan Yang di-Pertua - Datuk Dr. Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar
Ahli-ahli Yang Berhormat, saya suka hendak memberitahu Majlis ini iaitu Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dengan limpah kurnia Baginda telah memperkenankan akta-akta yang telah diluluskan oleh Parlimen dalam Mesyuarat Penggal yang lalu seperti berikut:
Akta Perbekalan 2011; 2. Akta Kewangan (No. 2) 2010; 3. Akta Kanak-kanak dan Orang Muda (Pekerjaan) (Pindaan) 2010; 4. Akta Perbadanan Stadium Malaysia 2010; 5. Akta Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (Pemerbadanan)
(Pindaan) 2010; 6. Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2010; 7. Akta Agensi Inovasi Malaysia 2010; 8. Akta Fi (Jabatan Meteorologi Malaysia) (Pengesahan) 2010; 9. Akta Perbadanan Insurans Deposit Malaysia 2010; 10. Akta Perbadanan Pengurusan Likuiditi Islam Antarabangsa 2010; 11. Akta Bank Simpanan Nasional (Pindaan) 2010; 12. Akta Pemberi Pinjaman Wang (Pindaan) 2010; 13. Akta Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2010; dan 14. Akta Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara 2010.
Timbalan Yang di-Pertua - Datuk Dr. Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar
Ahli-ahli Yang Berhormat, saya telah menerima satu perutusan daripada Tuan Yang di-Pertua Dewan Negara yang menyatakan persetujuan Dewan itu kepada rang undang-undang yang telah diluluskan oleh Dewan Rakyat dalam sidang Parlimen penggal yang lalu. Saya menjemput Setiausaha membacakan perutusan itu sekarang.
[Setiausaha membacakan Perutusan] “8 Mac 2010 Perutusan Daripada Dewan Negara Kepada Dewan Rakyat Tuan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Dewan Negara telah meluluskan Rang Undang-undang yang berikut tanpa pindaan:
Rang Undang-undang Perbekalan 2011; 2. Rang Undang-undang Kewangan (No. 2) 2010; 3. Rang Undang-undang Kanak-kanak dan Orang Muda
(Pekerjaan) (Pindaan) 2010; 4. Rang Undang-undang Perbadanan Stadium Malaysia 2010; 5. Rang Undang-undang Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia
(Pemerbadanan) (Pindaan) 2010; 6. Rang Undang-undang Kawalan Harga dan Antipencatutan 2010; 7. Rang Undang-undang Agensi Inovasi Malaysia 2010; 8. Rang Undang-undang Fi (Jabatan Meteorologi Malaysia)
(Pengesahan) 2010; 9. Rang Undang-undang Perbadanan Insurans Deposit Malaysia 2010; 10. Rang Undang-undang Perbadanan Pengurusan Likuiditi Islam Antarabangsa 2010; 11. Rang Undang-undang Bank Simpanan Nasional (Pindaan) 2010; 12. Rang Undang-undang Pemberi Pinjaman Wang (Pindaan) 2010; 13. Rang Undang-undang Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2010; dan 14. Rang Undang-undang Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara 2010.
Yang Ikhlas, t.t.
YANG DI-PERTUA DEWAN NEGARA”
1. Tengku Razaleigh Hamzah [Gua Musang] minta Perdana Menteri menyatakan, berapakah jumlah pengundi baru yang telah mendaftar sebagai pengundi, dan apakah rancangan kerajaan bagi memastikan setiap penduduk berusia 21 tahun ke atas didaftarkan sebagai pengundi dan berikan pecahan pengundi baru yang berdaftar di bandar berbanding dengan yang berdaftar di luar bandar.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri - Dato' Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz
Tuan Yang di-Pertua, pertamanya saya mengucapkan selamat datang kepada semua Ahli Parlimen pada sesi kita pada tahun 2011 ini.... [Tepuk] Untuk jawapan kepada Yang Berhormat Mulia daripada Gua Musang, pengundi baru ini kita menganggap mereka yang telah mendaftar terkini iaitu sehingga suku tahun ketiga tahun 2010 berbanding dengan mereka yang mendaftar semasa pilihan raya umum yang kedua belas iaitu pada tahun 2008.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri - Dato' Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz
Jadi kalau mengikut itu, maka bilangan pengundi baru mengikut negeri adalah seperti berikut:
Bilangan Pengundi Baru
| Negeri Perlis | (orang) 3,062 |
|---|---|
| Kedah | 39396 |
| Kelantan | 49246 |
| Terengganu | 43387 |
| Pulau Pinang | 39261 |
| Perak | 70780 |
| Pahang | 36700 |
| Selangor | 130097 |
| W.P. Kuala Lumpur | 21574 |
| W.P. Putrajaya | 1721 |
| Negeri Sembilan | 26503 |
| Melaka | 18431 |
| Johor | 87235 |
| W.P. Labuan | 590 |
| Sabah | 29876 |
| Sarawak | 59282 |
| Jumlah | 657141 |
Untuk makluman Ahli-ahli Yang Berhormat juga, Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia
(SPR) sentiasa menggalakkan pendaftaran pemilih di kalangan warganegara yang telah memenuhi syarat-syarat kelayakan pemilih mendaftar sebagai pemilih. Pendaftaran pemilih boleh dibuat sepanjang tahun. Bagi melaksanakan urusan pendaftaran pemilih, SPR menyediakan pelbagai saluran pendaftaran untuk memudahkan orang ramai mendaftar sebagai pemilih, menyemak maklumat pendaftaran mereka dan memaklumkan SPR berhubung maklumat kematian pemilih.
Permohonan pendaftaran baru dan pendaftaran tukar alamat pusat mengundi boleh dibuat di kaunter statik SPR di ibu pejabat SPR dan di semua pejabat pilihan raya di 702 buah kaunter pejabat pos di seluruh negara melalui lebih 7,719 Penolong Pendaftar Pemilih yang dilantik daripada wakil pelbagai parti politik, wakil di jabatan-jabatan kerajaan, wakil pelbagai pertubuhan bukan kerajaan dan wakil di universiti tempatan, kolej universiti dan kolej.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri - Dato' Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz
Selain itu, SPR juga melaksanakan program-program outreach untuk memberikan kemudahan pendaftaran melalui pejabat-pejabat pilihan raya negeri (PPN) di tempat-tempat tumpuan orang ramai dan pada tahun 2010, sebanyak 5,929 program outreach telah dilaksanakan oleh PPN seperti berikut:
(i) kawasan penempatan penduduk;
(ii) pasar raya atau pusat membeli belah atau pun pasar malam dan juga di pusat rekreasi dan juga di kilang;
(iii) pejabat-pejabat kerajaan dan swasta;
(iv) institut pengajian tinggi awam dan swasta dan pusat-pusat latihan; dan
(v) parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan.
Walau bagaimanapun, SPR tidak mempunyai maklumat statistik daftar pemilih mengikut kategori pemilih di bandar dan di luar bandar kerana maklumat yang diisi oleh pemohon dalam Borang ‘A’ iaitu borang pendaftaran pemilih adalah maklumat alamat mastautin sahaja dan tidak mengandungi maklumat pecahan mengikut kategori bandar dan luar bandar.
Datuk Mohd. Nasir Ibrahim Fikri - Kuala Nerus
Terima kasih Tuan Yang di- Pertua. Saya mohon kerajaan menjelaskan adakah pengundian yang dijalankan di negara ini setaraf dengan pengundian yang dijalankan di negara maju, serta apakah langkah yang boleh diambil oleh kerajaan dalam membentuk satu sistem pengundian yang lebih berhemah memandangkan berbagai-bagai fitnah serta provokasi yang telah dilakukan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab? Terima kasih.
Dato’ Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz
Terima kasih Yang Berhormat Kuala Nerus. Sememangnya kalau kita semua sedia maklum, ini yang terakhir merupakan pilihan raya yang kedua belas. Selama hari ini pun kita tidak menghadapi apa-apa masalah dalam pengendalian urusan pilihan raya. Malah, kalau hendak dikatakan, sememangnya kita setanding dengan pilihan raya yang telah diadakan di negara-negara yang maju seperti di barat. Saya kira tidak berbangkit soal tidak berlaku adil atau tidak adil kerana di dalam pilihan raya tahun 2008 dahulu, kita masih ingat Barisan Nasional kekalahan lima buah negeri. Ini jelas menunjukkan iaitu bahawa pilihan raya telah dijalankan dengan baik.
Namun, kita fahamlah pembangkang di mana yang negeri mereka menang, pilihan raya itu betul. Di mana mereka kalah, itu tidak adil. Itu memang perangai sebelah sanalah...
[Tepuk] [Dewan riuh]
Dato’ Ab. Halim bin Ab. Rahman - Pengkalan Chepa
Tuan Yang di-Pertua, soalan tambahan. Bolehkah Yang Berhormat Menteri menyatakan pengundi muda yang belum mendaftar berapa peratus dan berapa ribu dalam angka dan yang kedua ialah mengikut etnik iaitu Melayu, Cina dan lain-lain.
Dato’ Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz
Tuan Yang di-Pertua, saya rasa soalan daripada Yang Berhormat ini, saya perlu notis sedikitlah untuk memberikan maklumat yang betul kerana Yang Berhormat minta dari segi etnik, kumpulan etnik dan negeri. Jadi saya minta notis dan saya akan sampaikan secara bertulis.
2. Tuan Lim Lip Eng [Segambut] minta Menteri Pertahanan menyatakan, berapakah kos terkini bagi Boustead Naval Shipyard (BNS) Sdn. Bhd. untuk membina enam Kapal Peronda Generasi Kedua dan adakah proses tender dibuat sebelum kontrak dikeluarkan kepada BNS Sdn. Bhd. Kini berapakah jumlah nilai kontrak pertahanan telah diberikan kepada anak-anak Syarikat Kumpulan Boustead sejak tahun 2005.
Menteri Pertahanan - Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi
Tuan Yang di- Pertua, terlebih dahulu saya ingin memohon untuk menjawab pertanyaan yang dikemukakan oleh beberapa Ahli Yang Berhormat secara bersekali kerana semuanya adalah berkaitan.
Menteri Pertahanan - Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi
Ahli-ahli Yang Berhormat dan pertanyaan-pertanyaan yang dimaksudkan adalah Yang Berhormat Kuala Krai pada 10 Mac, Yang Berhormat Kuala Selangor pada 14 Mac, Yang Berhormat Taiping pada 22 Mac, Yang Berhormat Setiu pada 28 Mac dan Yang Berhormat Batu Kawan pada 4 April.
Tuan Yang di-Pertua, perolehan Second Generation Patrol Vessel Littoral Combatant Ship (SGPVLCS) tidak dibuat secara tender terbuka kerana ia merupakan kesinambungan daripada perjanjian penswastaan yang ditandatangani di antara kerajaan dan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd pada 11 Disember 1995.
Melalui perjanjian tersebut, kerajaan telah bercadang untuk membina 27 kapal peronda generasi baru. Ia sejajar dengan hasrat kerajaan untuk membangunkan industri maritim negara dengan menggunakan kemudahan-kemudahan infrastruktur yang ada dalam negara serta menjadi pemangkin kepada perkembangan teknologi dan industri berat.
Ia menyediakan banyak peluang pekerjaan dan perniagaan kepada vendor.
Untuk maklumat Dewan yang mulia ini, BNS telah terbukti berkemampuan membina enam buah kapal peronda atau patrol vessel yang telah digunakan oleh TLDM sekarang ini. Spesifikasi LCS ini adalah berbeza dengan enam buah kapal peronda (PV) yang asal dalam beberapa aspek di mana LCS lebih besar dan lebih laju. Aspek yang paling utama adalah keupayaan perangnya iaitu mempunyai keupayaan perang tiga dimensi dengan persenjataan maritim seperti meriam, misil dan torpedo. Dengan perkembangan teknologi yang begitu pesat, maka TLDM memerlukan LCS yang mempunyai keupayaan seperti sistem sonar pengesan kapal selam dan torpedo antikapal selam yang dapat membantu dalam pengoperasian dua buah kapal selam dalam inventori TLDM bagi menentukan keselamatan dan kedaulatan perairan maritim Malaysia sentiasa terjamin.
Menyentuh mengenai harga Tuan Yang di-Pertua, pada masa ini pihak kerajaan masih belum memuktamadkan harga. Sejumlah RM6 bilion telah diperuntukkan sebagai siling dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh dan sebahagian akan melimpah ke Rancangan Malaysia Kesebelas dan mungkin hingga ke Rancangan Malaysia Kedua Belas.
Tinjauan pasaran antarabangsa yang mempunyai keupayaan setanding LCS adalah antara RM1.5 bilion ke RM2.7 bilion sebuah.
Menteri Pertahanan - Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi
Berhubung dengan pertanyaan kontrak pertahanan yang telah diberikan kepada anak-anak syarikat Kumpulan Boustead sejak tahun 2005, nilai keseluruhan adalah sebanyak RM1.9 bilion. Kontrak ini meliputi pembekalan alat ganti, pelbagai peralatan dan juga perkhidmatan senggara.
Tuan Lim Lip Eng - Segambut
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, terima kasih kepada Yang Berhormat Menteri Pertahanan kerana memberi jawapan yang ringkas. Kami menerima bahawa pihak Tentera Laut memerlukan kapal peronda yang baru untuk menggantikan kapal-kapal yang telah uzur. Soalan saya, mengapa kerajaan perlu membeli kapal peronda yang dikatakan paling canggih dengan torpedo, boleh lawan jet perang, kapal selam pada masa ini. Adakah Malaysia menghadapi ancaman dari negara jiran?
Ataupun Menteri berpendapat bahawa ada ancaman yang cukup serius pada masa ini?
Soalan ini perlu diselari dengan retorik kerajaan yang mengatakan negara kami akan muflis atau bankrap. Dengan pemotongan subsidi...
Timbalan Yang di-Pertua - Datuk Dr. Wan Junaidi bin Tunku Jaafar
Yang Berhormat, soalan cukup Yang Berhormat.
Tuan Lim Lip Eng - Segambut
Ya. Sebanyak RM1.7 bilion daripada pemotongan subsidi baru-baru ini. Sekarang kerajaan membelanjakan RM6 bilion untuk membeli kapal peronda ini, adakah rasional? Akhirnya, apakah jaminan projek RM6 bilion ini tidak menghadapi isu cost overrun seperti yang dikritik, dikatakan oleh Ketua Audit Negara mengenai pembelian enam kapal peronda sebelum ini yang telah cost overrun sehingga RM6.75 bilion. Terima kasih.
Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi
Tuan Yang di-Pertua, saya fikir elok Yang Berhormat Segambut masuk tadika semula, kerana tidak dapat membezakan...
Tuan Tony Pua Kiam Wee - Petaling Jaya Utara
Saya rasa tuduhan itu tidak...
Tuan Sim Tong Him - Kota Melaka
Sangkaan jahat Menteri, tarik baliklah.
Tuan Tony Pua Kiam Wee - Petaling Jaya Utara
Selaras dengan kedudukan Menterilah. Menteri tidak boleh macam ini.
Tuan Sim Tong Him - Kota Melaka
Kalau kita kata Menteri masuk tadika balik, bolehkah?
Dato’ Shamsul Anuar Nasarah - Lenggong
Yang Berhormat Petaling Jaya Utara, buat...
Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi
Maksud saya masuk tadika untuk belajar istilah, antara PV (Patrol Vessel) dengan Second Generation Patrol Vessel Littoral Combat Ships, baru boleh tanya soalan ini, baru faham.
Dato’ Mahfuz bin Haji Omar - Pokok Sena
Tadika ajarkah bab-bab itu?
Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi
Tuan Yang di-Pertua, mengapa perlu kapal tercanggih? Kalau kita ada...
Dato’ Mahfuz bin Haji Omar - Pokok Sena
Tadika PERMATA ajar kot? Yang di- Pertuan Agong baru peringat semalam, tunjuk tingkah laku yang baik. Ini tunjuk tingkah laku yang tidak baik.
Timbalan Yang di-Pertua - Datuk Dr. Wan Junaidi bin Tunku Jaafar
Yang Berhormat Pokok Sena.
Dato’ Mahfuz bin Haji Omar - Pokok Sena
Saya peringat kepada dia tentang Titah semalam, Titah semalam minta semua Ahli Parlimen tunjuk tingkah laku yang baik.
Yang Berhormat ini tunjuk tingkah laku yang tidak elok ini... [Ketawa] Yang ini kena masuk PERMATA balik ini... [Ketawa].
Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi
Tuan Yang di-Pertua, saya fikir Yang Berhormat Pokok Sena pun perlu masuk PASTI... [Ketawa] Tuan Yang di-Pertua, mengapa kita perlu kapal canggih, bukan kerana ancaman dari negara-negara jiran. Negara-negara jiran juga telah mula mempertingkatkan keupayaan di dalam angkatan lautnya. Jadi kita harus tidak kalah dari segi keupayaan, bukan dari segi mahu berperang dengan mereka. Kalau kita tidak mempunyai peralatan atau aset yang canggih, nanti DAP juga akan kata, “Kenapa tidak beli yang canggih?” dia juga yang bangkitkan masalah ini. Yang Berhormat Segambut bukan tahu hal-hal ini.
Begitu juga dari segi retorik, saya tidak fikir dalam isu-isu pertahanan, kerajaan mahu beretorik sebagaimana DAP beretorik di dalam kempen-kempen pilihan raya kecil baru-baru ini, tetapi akhirnya kalah juga... [Tepuk] Isu tentang cost overrun dengan izin Tuan Yang di-Pertua, beliau membangkitkan tentang kenapa kenaikan kontrak daripada RM5.35 bilion kepada RM6.7 bilion. Kita harus tahu bahawa kenaikan ini adalah disebabkan kos bahan mentah ketika itu dan juga peningkatan kadar mata wang Euro, daripada tahun 2000 hingga tahun 2007. Ini adalah aspek ekonomi yang harus dilihat oleh Yang Berhormat, memahami persoalan baru tanya soalan di Dewan yang mulia ini.
Timbalan Yang di-Pertua - Datuk Dr. Wan Junaidi bin Tunku Jaafar
Yang Berhormat, saya memperingatkanlah, kita dah ada kalau tidak salah saya 15 pilihan raya kecil. Kita dah puas berpolitik dah, di Dewan ini tidak payahlah berpolitik. Tanya soalan yang betul-betul credible berhubung dengan isu dibangkit. Sila Yang Berhormat Lipis.
Tuan Khalid Abd. Samad - Shah Alam
Jawapan yang pertama tadi pun, Menteri main politik.
Dato’ Dr. Mohamad Shahrum Osman - Lipis
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, jadi saya mengucapkan tahniah kepada kerajaan dan Kementerian Pertahanan kerana telah bersungguh-sungguh untuk mendapatkan OPV Second Generation yang canggih.
Bahkan ada OPV yang dilengkapi tempat landing helikopter sekalipun.
Dato’ Dr. Mohamad Shahrum Osman - Lipis
Jadi memandangkan negara kita ini sebenarnya dikelilingi oleh laut dan kalau kita lihat Selat Melaka merupakan laluan yang penting bagi kapal dan sebagainya. Jadi, apakah lagi tahap kesiapsiagaan yang penting. Rasa saya, keselamatan negara melebihi nilai duit untuk kita terus menjadi negara berdaulat. Jadi saya mohon penjelasan daripada Yang Berhormat Menteri, apakah lagi tahap kesiapsiagaan bagi tentera laut ini supaya kita betul- betul berada sebagai navy atau tentera laut yang terunggul di rantau ini. Terima kasih.
Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi
Tuan Yang di-Pertua, sebagaimana yang kita ketahui di dalam operasi untuk menangani permasalahan lanun baru-baru ini, tentera kita, komando tentera laut kita telah dapat menangkap lanun dari Somalia, tanpa melibatkan sebarang nyawa. Negara yang telah mengambil tindakan selepas kita, terpaksa membunuh semua lanun-lanun itu. Ertinya kita boleh tangkap tanpa membunuh sesiapa.
Ertinya kita lebih canggih dan lebih hebat. Kita harus mengucapkan tahniah kepada angkatan tentera kita... [Tepuk] Dari segi persiapan lain, insya-Allah kita akan mempertingkatkan semua kesiapsiagaan kita, bukan sahaja dari segi peralatan dan juga aset, tetapi juga kesiapsiagaan dari segi latihan. Saya ingin menyebut juga di Dewan yang mulia ini, kenapa NGPV (New Generation PV) berbeza dengan Second Generation PV:
| New Generation PV | Second Generation PV | |
|---|---|---|
| Panjang | 91.1 meter | 125 meter |
| Beam | 12.8 meter | 14 meter |
| Draught | 3.4 meter | 5 meter |
| Kelajuan | 22 knot | 28 knot |
| Full Load | 1,850 tan | 2,500 tan |
| Penggunaan Enjin | 2 kali diesel enjin | 4 kali diesel enjin |
Jadi itulah antara beberapa perkara yang harus diketahui oleh Ahli-ahli Yang Berhormat, kerana dari segi perbezaan harga, saya ingin sebutkan kalau dituduh Malaysia membina kapal dengan lebih mahal, saya ingin Yang Berhormat Segambut dan kawan- kawan di sebelah sana memerhatikan fakta-fakta ini. Kapal tentera Morocco - membeli kapal yang sama, harganya RM1.49 bilion sebuah, tentera Korea membeli dengan harga RM1.7 bilion sebuah, kapal Tentera Laut Taiwan dianggarkan RM1.9 bilion, kita dianggarkan cuma RM1 bilion. Kita buat di Malaysia.
Saya fikir industri pertahanan tempatan harus diperkuatkan dengan memberikan kepercayaan kepada Boustead yang menjadi anak syarikat LTAT (Lembaga Tabung Angkatan Tentera). Apa yang penting ialah memberi kepercayaan kepada industri pertahan tempatan, terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
3. Dato’ Seri Tiong King Sing [Bintulu] minta Menteri Pengangkutan menyatakan, adakah pihak Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia mempunyai kaedah tertentu atau mencari jalan penyelesaian secara pantas semasa berurusan di kaunter Pembaharuan Cukai Jalan dan Pembaharuan Lesen Memandu di dalam kes-kes saman Polis atau JPJ di mana berlakunya pemalsuan nombor kenderaan tanpa pengetahuan pemilik kenderaan - kesalahan di bawah seksyen 115, Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Timbalan Menteri Pengangkutan I - Datuk Abdul Rahim bin Bakri
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat Bintulu, berdasarkan amalan sedia ada sekiranya orang kena saman membuat representasi dengan pegawai JPJ di Bilik Temu Siasat pejabat JPJ, bagi kes-kes tertentu yang dipertikaikan seperti kes- kes pemalsuan nombor kenderaan tanpa pengetahuan pemilik kenderaan seperti Yang Berhormat sebutkan tadi dan dapat mengemukakan dengan bukti-bukti kukuh bahawa notis tersebut adalah efektif, maka pihak JPJ boleh membatalkan notis dan melupuskan senarai hitam tersebut dengan segera dan membenarkan transaksi pembaharuan lesen memandu dan lesen kenderaan. Terima kasih.
Dato’ Seri Tiong King Sing - Bintulu
Terima kasih Yang Berhormat Timbalan Menteri di atas jawapan yang baru diberikan. Apabila kerajaan membuat pengumuman mengenai nama-nama pemandu yang disenaraihitamkan, kaunter semakan JPJ dan Polis Diraja Malaysia penuh sesak sehingga hari ini dan pihak kerajaan pula mendapat kewangan yang cukup lumayan dari hasil pembayaran saman dan masih terdapat lebih kurang RM1.7 juta yang perlu dikutip daripada penerima saman.
Soalan tambahan, adakah kaunter semakan JPJ atau Polis Diraja Malaysia dibenarkan untuk mengutip pembayaran saman ataupun kaunter pembayaran lesen dan cukai jalan di pejabat pos dibenarkan mengutip ataupun membayar saman apabila diketahui bahawa pemandu atau pemilik kenderaan disenaraihitamkan? Sekian.
Datuk Abdul Rahim bin Bakri
Terima kasih Yang Berhormat di atas soalan tersebut. Ingin saya nyatakan di sini bahawa terdapat sekurang-kurangnya empat agensi yang akan menerima pembayaran bagi saman-saman tersebut iaitu JPJ, PDRM, DBKL dan juga pembayaran yang boleh dibuat melalui MyEG. Oleh sebab itu sekiranya terdapat sesuatu kesalahan ataupun seorang pemandu itu disenaraihitamkan, maka dia haruslah pergi ke pejabat JPJ yang terdekat untuk melunaskan apa jua outstanding summons tersebut dan sekiranya outstanding summons tersebut telah pun dilunaskan maka blacklist akan ditarik semula. Terima kasih.
Dato’ Mahfuz bin Haji Omar - Pokok Sena
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Saya hendak minta penjelasan daripada Yang Berhormat Timbalan Menteri tadi. Isu-isu sekarang ini ialah berkaitan dengan soal istilah ‘saman’ diguna pakai. Tadi disebut bahawa saman itu maknanya boleh dibayar kepada polis dan juga JPJ. Akan tetapi saya ingin bertanya bahawa saman ini sepatutnya ke mahkamah. Istilah saman itu ialah saman untuk kita hadir ke mahkamah tetapi tidak pernah pun dikeluarkan satu saman untuk kita hadir ke mahkamah. Jadi kenapa pula kita perlu pergi semak? Kalau betul saman itu kepada saya umpamanya, saya tidak perlu pergi semak tetapi saya perlu pergi ke mahkamah. Itu saman untuk minta kita hadir ke mahkamah, bukan saman untuk kita pergi check sama ada kita ada berapa jumlah notis saman ekor ataupun tidak.
Jadi saya minta peruntukan mana yang digunakan untuk membolehkan kita bayar saman? Saman mesti menunggu keputusan mahkamah. Keputusan mahkamah itu kalau didapati kita bersalah itulah denda. Apa yang dibuat hari ini ialah notis itu hanya sebagai tawaran kompaun. Tawaran untuk kita, bukan denda. Bermakna bahawa ia bukan denda, belum pasti kita bersalah.
Baik, saya hendak beri contoh bahawa pada saya Tuan Yang di-Pertua, ada repot polis...
Timbalan Yang di-Pertua - Datuk Dr. Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar
Soalan Yang Berhormat.
Dato’ Mahfuz bin Haji Omar - Pokok Sena
Ada repot polis - ini berkaitan dengan soalan asal dari Yang Berhormat Bintulu tadi. Ini isu-isu rakyat Yang Berhormat Sri Gading ya.
Ini berkaitan dengan soal pemalsuan. Nombor plat pada dua buah kenderaan. Jadi seorang itu dapat notis ini. Tiba-tiba apabila dia pergi check rupa-rupanya ada satu lagi kenderaan lain menggunakan nombor yang sama dan nombor plat yang sama itu ialah seorang koperal polis. Jadi dia minta supaya pihak polis membatalkan notis tersebut.
Sehingga sekarang polis tidak mahu membatalkan notis tersebut. Ini bermakna dia kekal sebagai seorang yang disenaraihitamkan. Ini masalah yang sedang berlaku sebab itu saya katakan bahawa kalau seseorang itu tidak menjelaskan kompaun okey terus saman ke mahkamah, tidak timbul soal blacklist.
Timbalan Yang di-Pertua - Datuk Dr. Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar
Yang Berhormat.
Dato’ Mahfuz bin Haji Omar - Pokok Sena
Mahkamah menyatakan bahawa seksyen 17(1)(d) ialah perkara yang belum selesai - mestilah perkara belum selesai di mahkamah bukan selesai dengan JPJ ataupun pihak polis.
Dato’ Mahfuz bin Haji Omar - Pokok Sena
Jadi saya minta penjelasan sebab ini isu yang dihadapi oleh rakyat. Saya percaya Yang Berhormat Sri Gading pun bersetuju kecuali kalau orang duduk Amerika sahaja tidak setuju... [Ketawa]
Datuk Abdul Rahim bin Bakri
Terima kasih Yang Berhormat di atas isu yang dibangkitkan tersebut. Saya ingin menyatakan di sini bahawa sebenarnya saman ini ada dua jenis saman. Saya hendak jelaskan dahulu.
Saman yang pertama ialah, mana-mana pemandu kenderaan yang disyaki melakukan kesalahan di bawah akta akan dikeluarkan saman POL polis 257 (pindaan) 1/03 bagi PDRM dan JPJ P22 (pindaan) 1/203 dan diserahkan kepada pemandu secara kendiri di mana tempat kesalahan tersebut dilakukan. Itu saman sain ya. Itu yang kita beri saman sain.
Keduanya, sekiranya pemandu tidak dapat dikesan pada masa kesalahan disyaki telah dilakukan, notis polis 170A (pindaan) 3/203 bagi PDRM dan JPJ P23 akan dikeluarkan dan notis ini adalah merupakan permintaan bagi butir-butir pemandu yang disyaki melakukan kesalahan dan dihantar kepada pemilik kenderaan secara pos berdaftar untuk pemilik kenderaan sebagaimana yang terdapat di dalam pangkalan data JPJ. Notis ini mengehendaki pemilik kenderaan supaya mendedahkan identiti pemandu kenderaan yang telah melakukan kesalahan pada masa yang material. Apabila maklumat pemandu dimaklumkan kepada PDRM dan saman polis POL 1/257 ini ianya akan dikeluarkan atas nama pemandu tersebut.
Ini bererti apabila seseorang itu diminta untuk datang bagi saman yang kedua iaitu saman notis ini dan kalau dia tidak datang untuk mengemukakan butir-butir, itu adalah menjadi satu kesalahan dan ianya menjadi satu outstanding matters seperti mana dalam peruntukan Akta Pengangkutan Jalan iaitu dalam seksyen-seksyen.
Dato’ Mahfuz bin Haji Omar - Pokok Sena
Sepatutnya kalau dia tidak patuh pun samanlah dia. Kenapa blacklist kenderaan dia? Samanlah dia kerana dia tidak patuh kepada notis tersebut. Saman dialah!
Datuk Abdul Rahim bin Bakri
Dalam seksyen saya nyatakan sebelum ini bahawa menurut seksyen 115, seseorang itu secara automatik melakukan kesalahan sekiranya ia tidak mengemukakan butir-butir lanjut kepada pihak autoriti iaitu JPJ ataupun PDRM dan ia akan secara automatik disenaraihitamkan mengikut seksyen 17(1)(d) dan seksyen 29(1)(a) iaitu mempunyai hal yang belum diselesaikan dengan pihak berkuasa.
Itulah kesalahannya. Terima kasih Yang Berhormat.
Dato’ Mahfuz bin Haji Omar - Pokok Sena
Sedangkan seksyen 17(1)(d) itu sudah ditafsir oleh mahkamah.
Timbalan Yang di-Pertua - Datuk Dr. Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar
Yang Berhormat, baik.
Dato’ Mahfuz bin Haji Omar - Pokok Sena
Perbuatan itu salah. Perbuatan JPJ itu salah.
Timbalan Yang di-Pertua - Datuk Dr. Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar
Yang Berhormat.
Dato’ Mahfuz bin Haji Omar - Pokok Sena
Saya minta supaya satu-satu ruling harus dibuat bahawa JPJ harus mematuhi keputusan mahkamah.
Timbalan Yang di-Pertua - Datuk Dr. Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar
Yang Berhormat, duduk Yang Berhormat.
4. Dato' Dr. Mohd. Hayati bin Othman [Pendang] minta Perdana Menteri menyatakan, mengenai persediaan kementerian di dalam menghadapi persaingan pengangkutan apabila siapnya double tracking kelak.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri - Dato' Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz
Tuan Yang di-Pertua, untuk makluman Ahli Yang Berhormat, pelaksanaan projek double tracking adalah bagi penambahbaikan perkhidmatan, bagi sektor pengangkutan rel barangan serta penumpang secara keseluruhannya. Pengangkutan rel dapat membawa penumpang dan barangan dalam jumlah yang besar dengan cara efisien terutamanya untuk jarak jauh.
Mod pengangkutan yang lain termasuk pengangkutan jalan akan memberi perkhidmatan final mile untuk melengkapkan jaringan pengangkutan awam dan barangan bersekutu ataupun inter-model integrated transport. Pengangkutan jalan raya juga akan memberi perkhidmatan di kawasan yang tidak ada perkhidmatan rel. Pengintegrasian inter- model akan membawa kepada peningkatan kecekapan (efficiency), kelajuan (speed), dan kebolehpercayaan (reliability) kepada sistem pengangkutan awam darat.
Pengintegrasian mod-mod pengangkutan darat secara inter-model sudah pun dilakukan untuk kebanyakan negara-negara maju. Oleh demikian, dengan siapnya projek double tracking, persaingan adalah di dalam bentuk saling menyokong ataupun dengan izin complimentary dan akan memberi manfaat yang lebih baik kepada pengguna perkhidmatan tersebut, barangan mahupun penumpang. SPAD sedang merangka pelan induk pengangkutan awam darat yang akan memastikan semua mod-mod pengangkutan awam akan berfungsi dengan secara bersekutu. Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat juga sedang membuat kajian sektor-sektor pengangkutan awam darat termasuk impak sektor- sektor tersebut terhadap usaha-usaha menaik taraf jaringan kereta api dan akan menstrukturkan semula sektor-sektor pengangkutan tersebut jika perlu.
Dato' Dr. Haji Mohd. Hayati bin Othman - Pendang
Terima kasih Tuan Yang di- Pertua, terima kasih Menteri yang telah memberi jawapan. Menurut KTM, bahawasanya sekarang ini hanya 3 peratus sahaja jalan kereta api ataupun rel ini digunakan sebagai pengangkutan darat. 89 peratus lagi jalan raya dan juga yang lain menggunakan air ataupun udara. Daripada jawapan yang telah diberikan, SPAD akan meningkatkan prasarana pengangkutan double tracking ini. Saya ingin bertanya kepada pihak kementerian, dengan kos sebanyak RM12 bilion, dijangkakan pada 2013 double tracking ini akan disiapkan dan akan digunakan, mungkin sepenuhnya.
Apakah kita tidak meletakkan bahawasanya ia menjadi salah satu daripada sumber pendapatan negara seperti mana Trans-Siberian, Oriental Express ataupun Blue Train yang menjadikan kereta api ini sebagai sumber pendapatan melalui pelancongan kerana daripada segi speed dan reliability ini merupakan salah satu daripada sumber yang ada pada double tracking. Akan tetapi yang menjadi masalah adalah kepada rakyat tempatan iaitu tentang feeder transport ataupun yang hendak membawa kepada stesen feeder transport, stesen yang strategik dan juga ketepatan masa yang selalunya bila kita sebut di Malaysia ini ‘jam Melayu’. Apakah ini difikirkan oleh pihak SPAD untuk memberikan ataupun meningkatkan keberkesanan double tracking yang akan siap pada 2013 ini?
Terima kasih.
Seorang Ahli
[Bercakap tanpa menggunakan pembesar suara]
Dato' Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz
Boleh jawab ya. Tuan Yang di-Pertua, saya ingat apa Yang Berhormat Pendang cakap itu adalah perkara yang sememangnya kita fikirkan. Memang betul, daripada segi efficiency, ketepatan masa, itulah yang dilakukan malah perkhidmatan yang sedia ada sekarang ini, sedang berjalan, double tracking iaitu di antara Ipoh dengan Kuala Lumpur, saya telah difahamkan sebenarnya telah mendapat sambutan yang begitu baik, sehinggakan juga menjejaskan perkhidmatan pengangkutan penumpang bagi jalan raya. Jadi apa Yang Berhormat sebut, saya dengar dengan teliti tadi, itulah sebenarnya apa yang kita lakukan. Kita berharap iaitu dengan siapnya nanti, sepenuhnya double tracking ini sudah tentu dia akan memberikan satu keuntungan kepada kita dan saya percaya itulah yang akan berlaku, insya-Allah.
Tuan Teng Boon Soon - Tebrau
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Telah dilaporkan dalam akhbar tentang high speed train antara Johor Bahru dan Kuala Lumpur ataupun Singapura-Kuala Lumpur, yang akan dibina oleh sebuah syarikat dari People’s Republic of China. Soalan saya, bila projek ini dijangka akan dilaksanakan oleh kerajaan?
Dato' Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz
Tuan Yang di-Pertua, kita sedang menjalankan beberapa projek ke Selatan, contohnya Seremban-Gemas, double trackingnya sudah pun 66.1 peratus siap. Jadi, insya-Allah apa Yang Berhormat sebutkan itu, sudah tentu ini satu projek yang akan mendatangkan manfaat kepada rakyat. Jadi, kita sedang membuat feasibility study. Apa Yang Berhormat baca itu adalah cadangan. Jadi statusnya sekarang ini di peringkat feasibility study, dengan izin. Belum ada lagi kontrak yang ditandatangani.
5. Datuk Haji Mohamad bin Haji Aziz [Sri Gading] minta Menteri Luar Negeri menyatakan, jumlah perbelanjaan yang ditanggung oleh pihak kerajaan dalam membawa pulang rakyat Malaysia yang terperangkap di Mesir baru-baru ini dan apakah status dan situasi terkini hubungan dua hala Malaysia dan Mesir.
Menteri Luar Negeri - Dato' Sri Anifah bin Aman
Tuan Yang di-Pertua, izinkan saya memberi jawapan secara serentak kepada 27 pertanyaan-pertanyaan berkenaan isu yang sama mengenai perpindahan keluar rakyat Malaysia dari Mesir daripada Yang Berhormat Sri Gading dan Yang Berhormat Rantau Panjang bertarikh 8 Mac 2011, Yang Berhormat Lipis, Yang Berhormat Mukah, Yang Berhormat Cheras, Yang Berhormat Seremban dan Yang Berhormat Sipitang bertarikh 10 Mac 2011.
Yang Berhormat Kulim Bandar Baharu bertarikh 15 Mac 2011, Yang Berhormat Kota Belud dan Yang Berhormat Pendang bertarikh 16 Mac 2011, Yang Berhormat Hulu Langat bertarikh 17 Mac 2011, Yang Berhormat Rasah bertarikh 22 Mac 2011, Yang Berhormat Parit, Yang Berhormat Tenom bertarikh 23 Mac 2011, Yang Berhormat Kubang Kerian, Yang Berhormat Padang Terap dan Yang Berhormat Balik Pulau bertarikh 24 Mac 2011. Yang Berhormat Baling, Yang Berhormat Wangsa Maju dan Yang Berhormat Hulu Rajang bertarikh 30 Mac 2011, Yang Berhormat Hulu Terengganu, Yang Berhormat Petaling Jaya Selatan dan Yang Berhormat Bachok pada 31 Mac 2011, Yang Berhormat Maran bertarikh 4 April 2011, Yang Berhormat Indera Mahkota dan Yang Berhormat Tumpat bertarikh 5 April 2011 dan Yang Berhormat Setiu bertarikh 6 April 2011.
Timbalan Yang di-Pertua - Datuk Dr. Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar
Baik Yang Berhormat.
Dato' Sri Anifah bin Aman
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Saya mengucapkan terima kasih kepada semua Ahli Yang Berhormat di atas pertanyaan- pertanyaan yang telah pun dikemukakan. Tuan Yang di-Pertua, sebagaimana Dewan yang mulia ini sedia maklum, pergolakan politik telah berlaku di beberapa negara, di rantau Afrika Utara termasuk di Mesir. Pergolakan politik di Mesir yang bermula pada 25 Januari 2011 telah semakin meruncing pada 28 Januari 2011, yang menyaksikan kebangkitan rakyat Mesir menentang pemerintahan Presiden Hosni Mubarak.
Susulan daripada itu Kementerian Luar Negeri telah mengaktifkan Jawatankuasa Khas Petugas Pengurusan Krisis Kementerian Luar Negeri yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausahanya. Bilik operasi Krisis Kementerian yang beroperasi 24 jam juga telah dibuka pada hari yang sama.
Beberapa siri mesyuarat di peringkat kementerian dan juga di peringkat agensi- agensi kerajaan yang dipengerusikan oleh Majlis Keselamatan Negara atau MKN melibatkan Kementerian Luar Negeri, Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Pertahanan dan Jabatan Perdana Menteri telah diadakan bagi membincangkan krisis di Mesir dan implikasinya terhadap rakyat Malaysia di sana.
Hasil mesyuarat yang dipengerusikan oleh MKN mendapati krisis tersebut adalah serius dan boleh mengancam keselamatan rakyat Malaysia yang kebanyakan terdiri daripada pelajar-pelajar. Sehubungan dengan itu, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri telah menghantar Setiausaha Politik beliau untuk menyertai satu delegasi seramai empat orang pegawai kanan kerajaan yang diketuai oleh Yang Berhormat Timbalan Menteri Luar Negeri ke Kaherah pada 31 Januari 2011 bagi menilai situasi sebenar di Mesir dan memuktamadkan rancangan pemindahan keluar rakyat Malaysia.
Dato' Sri Anifah bin Aman
Memandangkan tahap krisis yang begitu serius Yang Amat Berhormat Perdana Menteri turut mengarahkan Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Mejar Jeneral (B) Dato’ Seri Jamil Khir Baharum pergi ke Kaherah bagi tujuan yang sama.
Demi memastikan keselamatan rakyat Malaysia terjamin Yang Amat Berhormat Perdana Menteri telah membuat keputusan pada 1 Februari 2011 untuk memindahkan keluar kesemua rakyat Malaysia termasuk pelajar-pelajar persendirian di Mesir ke Jeddah, Arab Saudi. Keputusan ini adalah berdasarkan kepada syor daripada pasukan yang dihantar ke Kaherah. Tindakan serta-merta turut diambil untuk mendapatkan kelulusan penerbangan dan pendaratan di beberapa negara termasuk Mesir dan Arab Saudi.
Hubungan akrab yang terjalin antara Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dengan Yang Teramat Mulia Putera Mahkota Arab Saudi selaku pemangku raja telah mendapatkan kerjasama Kerajaan Arab Saudi bagi menggunakan Jeddah sebagai pusat transit bagi rakyat Malaysia. Kerajaan Arab Saudi juga telah memberikan kelulusan khas kepada semua rakyat Malaysia yang dipindahkan dari Mesir untuk masuk ke Jeddah.
Setelah mendapat kelulusan dari pihak Mesir dan Arab Saudi masing-masing pada 2 Februari 2011 dan 3 Februari 2011 operasi pemindahan yang terbesar ini dimulakan dengan segera. Ia melibatkan pemindahan keseluruhan seramai 7,746 orang rakyat Malaysia dengan tiga pesawat C130 Tentera Udara Diraja Malaysia, sebuah pesawat khas penerbangan Malaysia dan dua buah pesawat khas AirAsia.
Pemindahan ini melibatkan dua fasa iaitu fasa pertama dari sektor Iskandariah Kaherah ke Jeddah 3 Februari 2011 hingga 7 Februari 2011. Fasa kedua dari sektor Jeddah ke Kuala Lumpur 6 Februari 2011 hingga 14 Februari 2011. Kesemua rakyat Malaysia yang dipindahkan ke Arab Saudi telah ditempatkan di Kompleks Tabung Haji Madinaltul Hujjaj, Jeddah sebelum dihantar balik ke Malaysia secara berperingkat-peringkat mulai 6 Februari 2011.
Tuan Yang di-Pertua, ketibaan kumpulan pertama rakyat Malaysia yang dipindahkan dari Mesir melalui Jeddah pada 7 Februari 2011 telah disambut oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat Timbalan Perdana Menteri, Menteri-Menteri Kabinet yang lain, Menteri Besar-Menteri Besar dan Ketua Menteri. Semua sambutan tersebut semasa sambutan tersebut Yang Amat Berhormat Perdana Menteri telah menekankan keputusan kerajaan untuk memindah keluar rakyat Malaysia dari Mesir.
Sejajar dengan komitmen dan tanggungjawab kerajaan dalam memastikan keselamatan dan kebajikan rakyat Malaysia terbela selaras dengan konsep 1Malaysia “Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan.” Yang Amat Berhormat Perdana Menteri juga telah menyatakan kejayaan konsep dengan izin, public-private partnership yang diketengahkan oleh kerajaan dalam menghadapi krisis di mana aset kerajaan dan pihak swasta digemblengkan dalam proses pemindahan rakyat Malaysia dari Mesir. Beliau juga telah menyampaikan penghargaan kerajaan pada pihak MAS, AirAsia dan Tabung Haji yang sanggup menghulurkan bantuan semasa krisis tersebut.
Tuan Yang di-Pertua, adalah dianggarkan kos keseluruhan bagi kos operasi pemindahan rakyat Malaysia dari Mesir tidak melebihi RM50 juta. Ini termasuk kos operasi tiga pesawat C130 TUDM, pesawat khas MAS dan AirAsia, tambang untuk pelajar Malaysia dari Jeddah ke tempat-tempat lain dengan menggunakan pesawat komersial dan juga pembiayaan makan minum dan tempat tinggal rakyat Malaysia di Jeddah dengan kerjasama Tabung Haji.
Memandangkan keadaan di Mesir telah kembali pulih sesi pengajian di universiti- universiti akan bermula pada pertengahan bulan Mac 2011. Kerajaan telah bersetuju untuk menghantar kembali semua pelajar Malaysia untuk meneruskan pengajian mereka di sana.
Bagi meringankan beban kewangan kepada ibu bapa untuk menghantar kembali anak-anak mereka ke Mesir, kerajaan telah mendapat kerjasama daripada semua kerajaan negeri- kerajaan negeri dan agensi-agensi penaja yang terlibat untuk membiayai kos penghantaran tersebut.
Dato' Sri Anifah bin Aman
Tuan Yang di-Pertua, Malaysia berpandangan bahawa pergolakan politik berlaku di negara-negara Timur Tengah dan Afrika Utara tidak lain adalah disebabkan oleh masalah politik dan sosioekonomi dalaman. Akibat dari peningkatan kadar pengangguran, kemiskinan, kadar inflasi yang tinggi serta ketidakseimbangan dalam pengagihan kekayaan negara dan keadaan ini amatlah berlainan dengan situasi di negara kita Malaysia.
Mengenai hubungan dua hala dengan Mesir, Malaysia akan terus menjalin hubungan diplomatik dengan negara berkenaan di dalam usaha memelihara kepentingan politik dan ekonomi negara serta menjaga keselamatan dan kebajikan rakyat Malaysia yang berada di sana. Pergolakan politik di Afrika Utara dan Timur Tengah sekiranya berlanjutan akan memberi kesan ke atas ekonomi Malaysia dan dunia akibat daripada kenaikan harga petroleum di pasaran global. Dalam hal ini kerajaan akan terus memantau keadaan di rantau tersebut untuk memastikan kepentingan negara dari segi politik dan ekonomi terjamin.
Tuan Yang di-Pertua, kerajaan ingin merakamkan penghargaan khususnya kepada Baginda Raja Abdullah bin Abdul Aziz Al-Saud penjaga dua masjid suci dan Kerajaan Arab Saudi di atas kesudian membenarkan Malaysia menggunakan Jeddah sebagai pusat transit dan menaja dua buah pesawat Saudi Air bagi proses pemindahan rakyat Malaysia dari Jeddah ke Kuala Lumpur. Kementerian Luar Negeri juga ingin merakamkan penghargaan kepada Majlis Keselamatan Negara, Kementerian Pertahanan, Tabung Haji, Kementerian Pengajian Tinggi, Jabatan Perdana Menteri, pelbagai agensi kerajaan, Kelab Putera 1Malaysia dan pihak media di atas kerjasama dan komitmen yang menjayakan operasi ini.
Kerajaan Malaysia juga berbesar hati kepada MAS yang diterajui oleh Yang Berbahagia Tengku Dato’ Azmil Zahruddin dan AirAsia yang diterajui oleh Yang Berbahagia Dato’ Sri Tony Fernandez yang telah menjalankan tanggungjawab sosial korporat dalam operasi tersebut. Saya juga telah dimaklumkan oleh Dato’ Sri Tony Fernandez bahawa AirAsia telah bersetuju untuk menanggung segala kos operasinya. Tidak dilupa juga peranan yang dimainkan oleh penjawat awam Wisma Putra, Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah dan Riyadh serta Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah di atas komitmen jitu mereka dalam memastikan keselamatan rakyat Malaysia terjamin. Terima kasih.
Datuk Haji Mohamad bin Haji Aziz - Sri Gading
Terima kasih Tuan Yang di- Pertua. Bagi pihak seluruh ibu bapa pelajar-pelajar kita yang di Mesir mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih, rasa terhutang budi kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri kita. Hebat, hebat. Dalam masa dua minggu kita memindah selamatkan pelajar-pelajar kita daripada Mesir melalui Jeddah. Luar biasa Tuan Yang di- Pertua tidak pernah berlaku begini hebat sebuah Kerajaan Barisan Nasional, kepimpinan Perdana Menteri. Ini bukan soal politik ini soal berterima kasih.
Ibu bapa termasuk anak saudara saya, emak dia meraung Tuan Yang di-Pertua apabila berlaku peristiwa di Mesir. Takut dirogol takut macam-macam. Akan tetapi alangkah leganya apabila pengumuman Yang Amat Berhormat Perdana Menteri hendak membawa pulang dengan percuma, percuma. Pembangkang apa dia buat? Pembangkang memekik sahaja dekat luar, tidak buat apa-apa pun. Jadi saya hendak ucapkan terima kasih.
Jawapan Yang Berhormat Menteri tadi ucapan yang menyeluruh termasuk kita berterima kasih kepada pihak-pihak yang membantu, menolong, termasuk Kerajaan Arab Saudi. Terima kasih banyak ucapan Yang Berhormat Menteri Luar Negeri satu ucapan yang betul-betul. Jadi saya hendak ucapkan terima kasih bagi pihak mereka sekali lagi kepada Perdana Menteri, Kerajaan Malaysia dan pihak-pihak yang membantu. Soalan tambahan...
[Disampuk] Inilah tolong tidak bising bukan main lagi, fitnah lagi kerajaan. Dia fitnahkan.
Dua minggu, ini Mesir bukan sebuah negara kecil ada di Kaherah ada di Iskandariah ada di Suez hendak kumpulkan anak-anak kita ini bukan satu kerja yang mudah. Bukan kerja yang mudah, Tuan Yang di-Pertua. Ini satu kerja yang begitu hebat, cekal. Pilihan Raya Ke-13 kita menang besarlah kerajaan, rakyat nilai kita cukup hebatlah, cekaplah. Soalan.
Timbalan Yang di-Pertua - Datuk Dr. Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar
Ya Yang Berhormat. Soalan Yang Berhormat.
Datuk Haji Mohamad bin Haji Aziz - Sri Gading
Adakah pihak Kementerian Luar Negeri bercadang hendak mewajibkan setiap rakyat kita yang berada di luar negara sama ada bekerja atau belajar mendaftarkan diri kepada kedutaan kita di luar negara? Ini kerana kalau berlaku peristiwa seperti ini mudahlah, mudah untuk diambil tindakan apa yang baiklah untuk rakyat. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Dato' Sri Anifah bin Aman
Terima kasih Yang Berhormat Sri Gading.
Alhamdulillah bahawa ada juga rakyat-rakyat Malaysia yang menghargai pengorbanan yang telah dibuat oleh pemimpin kita dan juga oleh orang-orang yang berkenaan. Walau bagaimanapun, itu adalah tanggungjawab kerajaan dan apa yang telah pun dalam ungkapan 1Malaysia bahawa Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan. Inilah yang dilakukan dan dilaksanakan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri kita. Tentang pendaftaran Yang Berhormat Sri Gading bahawa ini adalah satu-satu isu yang menyulitkan kita apabila ramai di antara pelajar-pelajar terutama sekali pelajar-pelajar persendirian yang tidak mendaftar di kedutaan kita di Kaherah. Oleh itu apabila krisis umpama ini berlaku, maka kesulitan timbul untuk kita menghubungi mereka. Ada kalanya kita tidak mengetahui bahawa seseorang itu berada di Mesir.
Oleh itu saya memohon kepada semua ibu bapa dan juga pelajar-pelajar tersebut supaya mendaftar dengan kedutaan kita, supaya sekiranya ada krisis-krisis seumpama ini berlaku, dapatlah kita menghubungi mereka serta-merta dan masa ini adalah penting supaya keselamatan ini terjamin. Setakat ini Yang Berhormat Sri Gading, kita belum lagi mewajibkan pendaftaran, tetapi adalah tidak merugikan pada semua rakyat Malaysia apabila mereka mendaftar di Mesir dan juga di negara-negara yang lain, terima kasih.
Tuan Mohd. Yusmadi Mohd. Yusoff - Balik Pulau
Terima kasih Tuan Yang di- Pertua. Soalan tambahan saya kepada Yang Berhormat Menteri ialah apabila berlaku di Tunisia, berlaku di Mesir, implikasi terhadap rantau memang satu perkara yang tidak dapat dinafikan. Soalan saya kepada Yang Berhormat Menteri mohon penjelasan ialah apakah sikap politik dari sesi dasar luar negara dengan hubungan terhadap Libya. Ini kerana apa yang akan berlaku sekarang ini dengan izin is crimes against humanity. Ini kerana besok dua hari kita akan menjadi tuan rumah kepada satu forum International Criminal Court yang akan membincangkan mengenai isu ‘juricide’ dan isu crimes against humanity. Saya difahamkan fakta menunjukkan bahawa Kerajaan Indonesia telah memohon Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk campur tangan terhadap apa yang berlaku di Libya atas pimpinan Muammar Gaddafi. Atas dasar itu saya memohon Yang Berhormat Menteri mohon penjelasan apakah dasar luar Malaysia pada hari ini terhadap isu-isu keganasan, ataupun dengan izin, crimes against humanity yang berlaku di Libya, mohon penjelasan.
Dato' Sri Anifah bin Aman
Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua, Yang Berhormat Balik Pulau telah pun mengemukakan satu soalan yang baik. Cuma saya ingin nyatakan bahawa soalan itu terkeluar daripada soalan asal. Akan tetapi walau bagaimanapun, saya bersedia duduk sama dengan Yang Berhormat Balik Pulau dan memberi keterangan tentang pendirian kita terhadap perkara-perkara tersebut. Terima kasih.
6. Tuan William Leong Jee Keen [Selayang] minta Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri menyatakan, FDI masuk dan keluar untuk Malaysia tahun 2010 dan daya saing Malaysia berbanding dengan negara-negara Asia Tenggara dan Asia Timur untuk menarik FDI masuk.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri - Dato' Sri Mustapa bin Mohamed
Tuan Yang di-Pertua, angka terkini berkaitan pelaburan asing di negara kita menunjukkan aliran masuk sebanyak USD9 bilion pada seluruh tahun lalu berbanding cuma USD1.4 bilion pada tahun 2009 iaitu peningkatan lebih lima kali ganda. Secara khususnya 536 peratus itu peratusan peningkatan lima kali ganda. Ini membuktikan dakwaan pembangkang Yang Berhormat Permatang Pauh, Yang Berhormat PJ Utara dan Yang Berhormat Selayang, Yang Berhormat Permatang Pauh dan Yang Berhormat PJ Utara tidak ada dalam Dewan ini.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri - Dato' Sri Mustapa bin Mohamed
Dakwaan mereka apabila angka 2009 dikeluarkan bahawa pelabur asing tidak berminat untuk melabur di Malaysia kerana kononnya dakwaan mereka bahawa tadbir urus yang buruk katanya, rasuah dan pelabur sudah hilang keyakinan terhadap negara kita Malaysia. Ini semua jelas meleset dan saya mahu tanya mereka apa respons mereka apabila angka terkini menunjukkan peningkatan lebih lima kali ganda berbanding tahun 2009... [Tepuk] Jumlah ini menunjukkan bahawa pada tahun lalu keyakinan pelabur terus mantap, bukan sahaja pelabur, rakyat pun semakin yakin dengan kerajaan sebab itu kita menang besar di Merlimau dan Kerdau. Ini semua menunjukkan keyakinan terhadap kerajaan semakin meningkat bukan sahaja pelabur, rakyat pun semakin bertambah keyakinan mereka terhadap rakyat Malaysia.
Angka terbaru ini lebih tinggi daripada apa yang diunjurkan oleh UNCTAD pada kira-kira tiga bulan yang lalu UNCTAD menyatakan bahawa pelaburan asing ke Malaysia dijangka USD7 bilion tahun lalu, tetapi apabila angka sebenar dikeluarkan, ia adalah USD9 bilion iaitu USD2 bilion lebih tinggi daripada unjuran yang dibuat oleh UNCTAD sebelum ini.
Saya ingin maklumkan bahawa dari segi peratusannya, peningkatan yang dialami oleh Malaysia adalah lebih tinggi daripada Indonesia, Singapura, Thailand, China dan lain- lain dari segi peratusannya. Angka ini dibuktikan lagi oleh kelulusan yang dibuat oleh MIDA tahun lalu. Pada tahun lalu MIDA meluluskan 910 projek melibatkan RM47.2 bilion berbanding dengan RM32.6 bilion pada tahun 2006. Daripada jumlah tersebut iaitu RM47 bilion tahun lalu diluluskan RM29 bilion atau 62 peratus adalah daripada pelaburan asing.
Kebanyakannya dari Amerika Syarikat, Jepun, Hong Kong, Singapura dan Jerman.
Tuan Yang di-Pertua, selain itu, syarikat-syarikat Malaysia juga semakin banyak melabur di luar negara dalam sektor minyak dan gas (oil & gas), infrastruktur, kewangan dan juga telekomunikasi. Pada tahun lalu pelaburan syarikat Malaysia luar negara berjumlah RM43 bilion. Ini adalah satu rekod. Pelaburan ini mencerminkan daya saing syarikat Malaysia Petronas, Sime Darby, beberapa bank negara kita. Daya saing dan keupayaan mereka untuk bersaing di pasaran antarabangsa.
Tuan Yang di-Pertua, tahun lalu, angka tertinggi pelaburan asing diterima oleh negara China. Ini tidak dapat dipertikaikan. Kira-kira USD101, tetapi kita difahamkan bahawa pelaburan ini adalah lebih bersifatkan berintensif buruh serta melibatkan projek- projek dalam infrastruktur.
Soalan berkaitan daya saing seperti yang telah saya maklumkan banyak kali dalam Dewan ini, saya hendak ulang, kalau mengikut laporan World Competitiveness Report kedudukan Malaysia meningkat daripada kedudukan 18 tahun 2009 ke 10 tahun 2010. Laporan World Bank Doing Business meningkat dari tangga 23 kepada 21 dalam tahun 2010. Ini juga menunjukkan bahawa daya saing kita terus meningkat.
Tuan Yang di-Pertua, kerajaan telah melaksanakan pelbagai perancangan termasuklah Pelan Transformasi Ekonomi, beberapa projek Entry Point Project telah diumumkan telah tiga siri pengumuman dibuat dalam masa kira-kira sejam dari sekarang, Perdana Menteri akan mengumumkan siri keempat pengumuman ETP ataupun EPP iaitu Entry Point Projects ini dan pengumuman ini akan dibuat jam 12.00, sekejap lagi yang melibatkan 23 semuanya termasuk projek lama dan projek baru. Ini akan mengambil masa lagi melibatkan pelaburan berjumlah RM14.74 bilion dan ini akan menjanakan peluang pekerjaan sebanyak 88,354.
Jadi ini semua menjelaskan bahawa tohmahan dakwaan pembangkang tahun lepas bergegar Dewan ini menyatakan bahawa pelaburan asing merudum kerana hilang kepercayaan kepada kerajaan ini jelas semuanya meleset. Ini pembohongan dan fitnah semata-semata. Apa yang berlaku sebaliknya ialah pelabur semakin meningkat dengan transformasi yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan. Transformasi kerajaan, transformasi ekonomi, dan juga Model Baru Ekonomi. Terima kasih.
Tuan William Leong Jee Keen - Selayang
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, terima kasih Yang Berhormat Menteri. Saya mengucapkan tahniah atas kejayaan untuk meningkatkan jumlah FDI sebanyak lebih daripada 500 peratus .
Tuan William Leong Jee Keen - Selayang
Ini adalah sebab pada tahun 2008, jumlah FDI telah jatuh 81 peratus dengan ada jumlah USD1.4 bilion. Kalau kita bandingkan mengikut laporan UNCTAD iaitu United Nations Conference on Trade and Development Global Investment Trend Monitor yang telah dikeluarkan pada 17 Januari 2011, seperti yang dikatakan oleh Yang Berhormat Menteri China mendapat FDI sebanyak USD101 bilion.
Tuan William Leong Jee Keen - Selayang
Hong Kong pula mendapat USD62.6 bilion. Singapore mendapat USD37.4 bilion, India USD23.7 bilion. Indonesia mendapat USD12.8 bilion berbanding dengan Malaysia yang mendapat USD9 bilion dan Thailand yang ada masalah politik pada tahun 2010 mendapat USD6.8 bilion.
Walaupun mengikut peratusan, kita telah mencapai satu kejayaan tetapi apabila kita dibandingkan dengan jumlah wang yang telah masuk, kita jauh ketinggalan oleh jiran- jiran kita. Selain daripada apa yang telah diumumkan, apakah rancangan kerajaan untuk meningkatkan daya saingan kita dengan jiran kita? Terima kasih.
Dato’ Sri Mustapa bin Mohamed
Tuan Yang di-Pertua, angka-angka yang disebut oleh Yang Berhormat Selayang tadi merupakan unjuran dan angka sebenarnya belum lagi dikeluarkan. Mungkin dalam lima hingga ke enam bulan. Jadi, ia kurang tepat dan perlu tunggu angka-angka sebenarnya.
Berkaitan dengan apa yang sedang kita buat untuk meningkatkan daya saing, kita telah melaksanakan Pelan Transformasi Kerajaan, Pelan Transformasi Ekonomi.
Pembangkang kena baca semua ini. Buku-buku telah diedarkan. Saya mahu pembangkang baca semua ini. Ini adalah langkah-langkah yang akan meningkatkan keyakinan dan daya saing Malaysia.
Kedudukan kita seperti yang saya maklumkan tadi telah pun meningkat pada tahun 2010 dan kita sedang bekerja keras untuk memastikan bahawa ia akan terus meningkat. Satu perkara yang penting dalam hal ini adalah pembangunan modal insan.
Kita mengakui bahawa kita perlu meningkatkan lagi usaha untuk meningkatkan daya saing kita dengan menyediakan tenaga kerja yang berkemahiran dalam bidang-bidang tertentu termasuklah dalam bidang engineering, dalam bidang knowledge intensive dengan izin sektor. Inilah antara perkara yang perlu kita lakukan. Ini sedang kita rancang dan sudah pun dilaksanakan.
Jadi, dengan langkah-langkah yang telah kita laksanakan khususnya Modal Baru Ekonomi, khususnya Pelan Transformasi Kerajaan, khususnya Pelan Transformasi Ekonomi. Tiga langkah utama ini, kerajaan yakin mampu untuk meningkatkan daya saing negara kita Malaysia untuk menerima pelaburan asing dan juga pelaburan dalam negeri atau pun pelaburan domestik.
Tuan Khairy Jamaluddin - Rembau
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Saya ucapkan tahniah kepada Menteri atas prestasi FDI yang cukup baik, peningkatan 536 peratus. Dahulu pembangkang riuh satu negara mengatakan bahawa kita mengalami penurunan. Akan tetapi apabila ada peningkatan yang ketara, mereka senyap membisu.
Soalan saya kepada Menteri, ada kerajaan negeri, contohnya Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang mendabik dada mengatakan bahawa FDI yang meningkatkan di negeri tersebut adalah hasil daripada usaha kerajaan negeri tersebut. Saya hendak minta pandangan Yang Berhormat Menteri, apakah pandangan itu betul? Adakah peningkatan kepada Pulau Pinang dan negeri-negeri lain adalah hasil daripada perancangan daripada Kerajaan Persekutuan Barisan Nasional yang bertanggungjawab atas prasarana, infrastruktur? Dalam kes Pulau Pinang, perancangan daripada kerajaan Barisan Nasional di bawah Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Koh Tsu Koon pada waktu itu yang hari ini diraikan oleh kerajaan pembangkang DAP sebagai kejayaan mereka sendiri. Sebenarnya take credit for what was not their work, dengan izin. Terima kasih.
Dato’ Sri Mustapa Mohamed
Terima kasih Yang Berhormat Rembau. Pertama, saya setuju sangat dengan pandangan Yang Berhormat Rembau tadi. Pembangkang membisu seribu bahasa apabila diumumkan angka setahun lalu, riuh Dewan ini. Macam- macam tuduhan dilemparkan.
Dato’ Sri Mustapa Mohamed
Apabila peningkatan lima kali ganda, ini bukan satu prestasi yang biasa. Ini amat luar biasa. Senyap sunyi, senyap sunyi. Satu suara pun tidak ada. Ini amat menghairankan.
Dr. Dzulkefly Ahmad - Kuala Selangor
Yang Berhormat Menteri, baseline rendah, baseline rendah.
Dato’ Sri Mustapa Mohamed
Jadi, terima kasih lah Yang Berhormat Rembau kerana mengakui bahawa pembangkang ini memang dia ikut kalau benda ini tidak sesuai atau pun tidak memihak kepada dia, macam kalah pilihan raya macam-macam alasan diberikan, semua tidak betul. Kalau menang, senyap sunyi. Ya, itulah pembangkang.
Berkaitan dengan dakwaan Pulau Pinang. Ini baru setahun jagung hendak berkokok. Jadi, baru dua, tiga tahun memerintah, kredit-kredit macam-macam. Ini amat tidak tepat dan saya rasa rakyat faham sebab itu di Tenang, saya tahu Ketua Menteri Pulau Pinang, dia berucap di Tenang, dia menyatakan bahawa dua negeri iaitu Pulau Pinang dan Selangor dicampurkan dengan negeri-negeri lain, lebih banyak daripada 10, 11 negeri- negeri lain. Itu dakwaan beliau. Itu yang dia berkokok di Tenang.
Akan tetapi kita jelas. Kita tahu bahawa di Tenang, DAP dan PAS ditolak. Majoriti 3,707. Ini menunjukkan mereka tidak percaya dengan dakwaan yang dibuat oleh Pulau Pinang menyatakan apa yang berlaku di Pulau Pinang semata-mata kerja Ketua Menteri.
Sebenarnya, ini orangnya Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan sebelum itu mendiang... [Dewan riuh]
Dato' Samsul Anuar Nasarah - Lenggong
Sabar Yang Berhormat Kuala Selangor.
Dato’ Sri Mustapa Mohamed
Hilang pengasas-pengasasnya. Tun Lim Chong, tidak ada kaitan dengan Yang Berhormat...
Dr. Mohd. Hatta Md. Ramli - Kuala Krai
Rakyat pun bakal tolak dialah.
Dato' Johari Abdul - Sungai Petani
Kalau dia betul, tidak jatuhlah, tidak jatuhlah.
Dato’ Sri Mustapa Mohamed
Ini kita semua tahu. Infrastruktur yg baik dia cakap di Pulau Pinang termasuklah airport dalam pembesaran. Negeri lain dengki macam mana dapat airport yang begitu besar di Pulau Pinang, jalan-jalan raya semua ini. Ini adalah hasil perjuangan Barisan Nasional.
Maka, saya mahulah Pulau Pinang dan Selangor, semua berhentilah bercakap.
Insya-Allah akan naik, tidak akan jatuh. Akan naik dan naik dan naik sampai bila-bila.
Insya-Allah. Jadi, saya harap rakyat akan memahami. Ini adalah hasil usaha pemimpin- pemimpin masa lalu yang menyediakan infrastruktur yang baik sehinggakan menjadikan Pulau Pinang, Selangor dan negeri-negeri lain yang mempunyai daya saing yang tinggi untuk menarik pelabur asing. Terima kasih.
7. Tuan Liang Teck Meng [Simpang Renggam] minta Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar menyatakan, kedudukan dan perancangan serta kajian penyelesaian banjir di negeri Johor setelah banjir besar melanda negeri itu pada tahun 2006.
Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar - Tan Sri Datuk Seri Panglima Joseph Kurup
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Terlebih dahulu saya mohon untuk menjawab soalan ini bersekali dengan soalan lisan yang dikemukakan oleh Datuk Wee Jeck Seng dari Tanjong Piai dan Dr. Lee Boon Chye dari Gopeng pada 7 April 2011 kerana ketiga-tiga soalan berkenaan melibatkan isi yang sama iaitu isu banjir di Johor.
Untuk makluman Ahli-ahli Yang Berhormat, kejadian banjir yang berlaku di negeri Johor pada tahun 2006 dan banjir baru-baru ini pada 31 Januari 2011 adalah disebabkan oleh curahan hujan yang berlebihan dan luar biasa yang berlaku pada keseluruhan negeri Johor.
Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar - Tan Sri Datuk Seri Panglima Joseph Kurup
Ini menyebabkan limpahan air, larian permukaan dari sistem perparitan setempat dan limpahan sungai yang tidak mampu menampung lebihan air hujan. Pihak JPS telah menyediakan perancangan jangka pendek dan jangka panjang untuk mengurangkan kejadian banjir. Perancangan jangka pendek adalah untuk melaksanakan kerja-kerja pengendalian semua sungai-sungai dan sistem saliran untuk membuang kelodak, mendapan dan sekatan-sekatan untuk memastikan aliran sungai lancar.
Susulan daripada banjir besar pada tahun 2006 dan tahun 2007, jabatan telah melaksanakan kerja-kerja mendalam dan membuang kelodak di 20 batang sungai untuk meningkatkan aliran sungai bagi mengurangkan limpahan air berlaku. Untuk perancangan jangka masa panjang pula, pelan induk tebatan banjir disediakan untuk mengenal pasti punca-punca banjir dan mengesyorkan kaedah-kaedah yang sesuai untuk mengurangkan kejadian banjir secara holistik bagi sesuatu lembangan sungai.
Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar - Tan Sri Datuk Seri Panglima Joseph Kurup
Selepas itu, reka bentuk terperinci kejuruteraan akan disediakan berdasarkan syor- syor dalam pelan induk tebatan untuk menyediakan rancangan tebatan banjir. Seterusnya, susulan daripada banjir besar pada tahun 2006/2007, jabatan telah menyiapkan lima pelan induk tebatan banjir dan satu reka bentuk terperinci rancangan tebatan banjir. Tambahan daripada itu, satu reka bentuk terperinci masih dijalankan dan dijangka siap pada tahun 2011. Dalam tempoh 2011 sehingga 2012, JPS akan mula menjalankan sebahagian rancangan tebatan banjir di Segamat dan Johor Bahru.
Pelaksanaan projek fizikal rancangan tebatan banjir yang dirangka akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat memandangkan ia melibatkan kos yang besar.
Kerja-kerja tebatan banjir di kawasan-kawasan lain seperti Batu Pahat, Kota Tinggi, Kluang dan Muar telah dirancang dan sedang dipohon semula di bawah second rolling plan dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh. Semenjak banjir besar 2006, pihak JPS telah membelanjakan RM311 juta untuk melaksanakan pelbagai projek tebatan banjir di Johor.
Sekian.
Tuan Liang Teck Meng - Simpang Renggam
Terima kasih. Soalan tambahan saya, saya dengar jawapan Menteri tadi memang masalah yang paling besar sekarang ini adalah masalah banjir, masalah kekangan kewangan. Jadi sekiranya kementerian tidak ada peruntukan untuk melaksanakan projek seperti yang dirancang itu dalam masa yang terdekat ini, adakah kementerian mempunyai perancangan untuk mewujudkan sistem amaran atau sistem ramalan untuk mengurangkan kesan ataupun kerosakan yang akan didatangkan oleh banjir? Sekian terima kasih.
Tan Sri Datuk Seri Panglima Joseph Kurup
Terima kasih Ahli Yang Berhormat.
Kerajaan sememangnya begitu prihatin sekali dengan masalah banjir yang dialami oleh penduduk-penduduk dan telah memasang sistem amaran banjir di kawasan-kawasan strategik. Tujuan sistem amaran banjir ini adalah untuk memberi amaran awal banjir kepada semua pihak agar dapat membuat persediaan awal supaya risiko pemusnahan harta benda dan nyawa dapat dikurangkan. Sistem amaran banjir di Johor adalah terdiri daripada 41 sistem pencerapan dan transmisi hujan dan aras air atau sistem telemetri, tujuh stesen sistem siren dan 210 stesen tolok banjir di lapan kawasan.
Selain daripada amaran banjir Tuan Yang di-Pertua, pihak jabatan JPS juga telah membangunkan model ramalan banjir atau flood forecasting model untuk memberi masa susulan atau lead time supaya dapat membuat persiapan lebih awal lagi kepada orang- orang yang berkenaan. Contohnya, pihak JPS telah membangunkan model ramalan banjir berasaskan the mathematical model untuk tujuh lembangan sungai. Di samping itu, JPS juga sedang membangunkan model ramalan banjir berasaskan model atmosfera atau dengan izin, atmospheric and radar satellite based model, rainfall and flood forecasting model di lembangan Sungai Johor.
Tuan Yang di-Pertua, di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh pula, pihak JPS juga akan terus melaksanakan projek seperti berikut yang ada berkaitan dengan amaran banjir.
Tan Sri Datuk Seri Panglima Joseph Kurup
(i) mempertingkatkan lagi tahap sistem pencerapan dan transmisi hujan dan aras air atau sistem telemetri di Johor; dan
(ii) memperluaskan pembinaan siren di lokasi-lokasi yang sering dilanda banjir terutama di kawasan perbandaran dan di tempat- tempat yang sering mengalami banjir.
Dengan siap sistem seperti mana yang saya katakan sebentar tadi, ramalan dan amaran banjir boleh dibuat dengan lebih awal lagi untuk membuat persiapan kepada orang- orang yang mungkin dilanda oleh banjir. Sekian.
Tuan Lim Kit Siang - Ipoh Timur
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Kalau tindakan yang diambil oleh pihak berkenaan tidak berkesan untuk mengelakkan satu banjir yang lebih besar yang ada berlaku di Segamat, Johor baru-baru ini selepas banjir besar empat tahun dahulu. Apa jaminan bahawa penduduk-penduduk di Johor boleh mengelakkan satu mala petaka yang lebih besar di masa hadapan. Dalam perkara ini, kenapa sampai sekarang pampasan belum diberi kepada mangsa-mangsa banjir besar di Segamat, Johor dan berapa jumlah pampasan yang diberi pada empat tahun dahulu dan sekarang apa pampasan yang akan diberi?
Tan Sri Datuk Seri Panglima Joseph Kurup
Terima kasih Ahli Yang Berhormat.
Sememangnya sejak 2006 berlaku banjir juga pada ketika itu. Setelah kita membuat beberapa kerja, ada improvement nya sedikit tetapi kejadian banjir yang baru-baru itu tidak diduga. Dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh, kita akan teruskan memperbaiki dan kita akan terus membuat rancangan-rancangan tertentu supaya kerja-kerja ini akan dapat dilaksanakan. Contohnya, di lembangan Sungai Muar, dalam rolling plan pertama ini kita mendapat peruntukan kurang lebih RM60 juta. Itu merupakan beberapa kerja terlebih dahulu seperti membuat reka bentuk, pengambilan balik tanah di RTB Segamat, penyediaan pelan, kerja untuk penyediaan pelan pembinaan benteng banjir dan menaikkan taraf Sungai Genuang. Perancangan itu sememangnya ada dan kita tidak akan berhenti untuk mengatasi masalah yang berlaku ini...
Tuan Lim Kit Siang - Ipoh Timur
Pampasan?
Tan Sri Datuk Seri Panglima Joseph Kurup
Pampasan itu memang ada, kita akan membayar pampasan tetapi itu akan dikaji terlebih dahulu mana yang munasabah...
[Dewan riuh]
Tuan Lim Kit Siang - Ipoh Timur
Apa kadarnya berbanding tahun dahulu?
Tan Sri Datuk Seri Panglima Joseph Kurup
Kadar itu nanti kita kaji dulu Yang Berhormat.
Tuan Khalid Abd. Samad - Shah Alam
Soalan tambahan.
Dr. Mohd. Hatta Md. Ramli - Kuala Krai
Soalan tambahan satu lagi Tuan Yang di-Pertua?
8. Dato’ Haji Wan Abd. Rahim Wan Abdullah [Kota Bharu] minta Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi menyatakan, berapa ramaikah pekerja asing terlibat dalam sektor getah dan kelapa sawit berbanding pekerja-pekerja tempatan.
Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi I - Dato' Hamzah bin Zainudin
Terima kasih. Tuan Yang di-Pertua, sehingga Disember 2010 jumlah keseluruhan pekerja di sektor perladangan getah ialah 269,385 orang. Daripada angka tersebut, jumlah pekerja tempatan ialah 214,119 orang atau 79 peratus manakala pekerja asing ialah 55,266 orang atau 21 peratus. Bagi tempoh yang sama, jumlah keseluruhan tenaga kerja di sektor perladangan sawit pula ialah 413,137 orang di mana 107,163 orang atau 26 peratus ialah pekerja tempatan manakala 305,974 orang atau 74 peratus adalah pekerja asing. Terima kasih.
Dato' Haji Wan Abd. Rahim Wan Abdullah - Kota Bharu
Terima kasih kepada jawapan yang diberikan. Adakah kerajaan sedar bahawa selain daripada pekerja-pekerja yang digambarkan sekejap tadi, masih ada lagi pekerja asing yang datang untuk membantu di dalam sektor getah ini terutama sekali dari selatan Thailand yang datang ke negeri-negeri sempadan?
Apakah kerajaan mempunyai perancangan untuk menyelaraskan dengan beberapa kementerian lain umpamanya Kementerian Sumber Manusia ataupun Kementerian Dalam Negeri untuk membantu dan membolehkan pekerja-pekerja ini yang dahulunya diberikan tempoh sebulan untuk masuk ke Malaysia, sekarang dipendekkan kepada dua minggu sahaja? Apakah kerajaan tidak bercadang untuk membantu mereka supaya boleh hadir dengan pas lawatan itu selama tiga bulan, untuk membantu sektor pekebun kecil getah di negeri-negeri di sempadan? Terima kasih.
Dato' Hamzah bin Zainuddin
Terima kasih Yang Berhormat Kota Bharu. Saya hendak beritahu masalah kita adalah masalah pekerja asing yang begitu ramai dalam negara kita. Akan tetapi Yang Berhormat mahu adalah supaya kita beri peluang lagi ramai pekerja asing dalam negara kita. Walau bagaimanapun, saya hendak memberitahu bahawa kita melalui Jawatankuasa Kabinet telahpun berbincang untuk menyelaraskan dari segi semua pengambilan pekerja asing dalam negara kita bukan hanya dalam sektor peladangan tetapi semua sektor yang ada dalam negara kita termasuklah sama ada ianya datang daripada Thailand ataupun negara-negara yang telahpun kita luluskan seperti Indonesia, Nepal, Myanmar, India, Vietnam, Bangladesh, Pakistan, Filipina, Kemboja, China, Sri Lanka, Laos dan lain-lain. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Datuk Dr. Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar
Ahli-ahli Yang Berhormat, setakat itu sesi pertanyaan-pertanyaan bagi jawapan lisan untuk pagi ini.
[Masa untuk pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan tamat]
Datuk Eric E. Majimbun - Sepanggar
Tuan Yang di-Pertua, saya ingin mengusulkan di sini supaya suatu usul berkenaan dengan pertabalan sebagai Sultan Sulu yang ke-33. Tuan Yang di-Pertua, rakyat Malaysia khasnya di Sabah telah dikejutkan dengan tersiarnya berita melalui media elektronik dan surat khabar bahawa seorang rakyat Malaysia yang memiliki MyKad 570707-12-6083, mengikut pendaftaran pengundi yang diperolehi daripada Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia sebagai pengundi di kawasan N.14 Likas, Sabah.
Mengikut berita yang tersiar, Datu Mohd Akjan bin Datu Ali Muhammad setelah mengangkat sumpah kesetiaannya telah ditabalkan sebagai Sultan Sulu yang ke-33 dengan gelaran Paduka Mahasari Maulana al-Sultan Sharif Ul-Hashim II, Dr. Sharif Mohammad Akjan Mu’izzuddin Waddaaulah ibni al-Marhum Sultan Ali Muhammad Pelalun, pada 2 Februari 2011 di Likas, Sabah dengan disaksikan oleh sekumpulan 60 orang termasuk Pegawai Kanan Kesultanan Sulu dari provinsi Sulu di selatan Filipina. Kerajaan sementara Kesultanan Sulu yang diketuai oleh Perdana Menterinya, Datu Albi Ahad Julkernain telah menjelaskan bahawa pertabalan tersebut diadakan jauh dari ibu kota negeri provinsi Sulu di Jolo atas sebab keselamatan.
Datuk Eric E. Majimbun - Sepanggar
Mengikut profilnya, Datu Mohd Akjan dilahirkan pada 23 November 1957 di Jambangan Nipah-Nipah di Kesultanan Sulu, adalah anak tunggal Sultan Sharif Ali Mohd Pulatan dengan isterinya, Sharifah Sarimah ibni Sharif Imam Yusop ibni Datu Sharif Salahudin ibni Sharif Safarudin telah dibawa oleh bapa saudaranya Hasirin Sumabud ke Kem Sibaud di Sandakan atas alasan keselamatan pada 11 November 1962, kemudian menjadi warganegara Malaysia. Beliau adalah bekas tahanan ISA yang dipercayai terlibat dalam sindiket pemalsuan kerakyatan dan pengeluaran kad pengenalan, Pengerusi Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia Bbahagian Sabah (PEKIDA), beliau juga sebagai Ketua Hal Ehwal Antarabangsa Pekida.
Penimbulan hal ini telah dengan sendirinya memperjelaskan kecurigaan dan wasangka rakyat tulen Malaysia khasnya di Sabah bahawa selama ini warga-warga asing telah dan sedang dianugerahkan dengan keistimewaan sebagai rakyat Malaysia ada kebenarannya, dan mereka ini sedang bercampur gaul, bersaing dengan rakyat Malaysia tempatan di dalam semua bidang perniagaan, perusahaan, pertumbuhan penduduk dan sebagainya. Ketua Menteri Sabah juga dengan tegas telah membidas agar Datu Mohd Ajkan dilucut keahliannya daripada parti memerintah, UMNO.
Keistimewaan yang diberi oleh kerajaan untuk rakyat asing ini sebagai warganegara Malaysia telah dibalas dengan satu tamparan yang dahsyat dan amat sukar kita bayangkan sebagai rakyat Malaysia yang taat setia mempertahankan kedaulatan negara kita dengan menjunjung tinggi 5 prinsip Rukun Negara serta Perlembagaan Negara.
Adakah rakyat yang diragui ini mempunyai ketaatan dan semangat kekitaan serta patriotisme terhadap negara kita? Inilah sebenarnya kebimbangan rakyat di Sabah selama ini.
Penimbulan hal ini sendiri juga telah memperjelaskan dakwaan kita di Dewan yang mulia ini berkaitan dengan penumbuhan bancian penduduk secara mendadak dengan melambung tinggi sejak tahun 1970 hingga sekarang iaitu peningkatan lebih daripada 400 peratus dalam masa 40 tahun. Tentunya dakwaan rakyat Sabah selama ini ada kebenaran dengan bukti jelas bahawa ramai orang asing yang telah diisytiharkan sebagai rakyat Malaysia tanpa mengikut lunas undang-undang seperti yang termaktub dalam akta Perlembagaan Malaysia, Enakmen Pendaftaran Rakyat serta Ordinan Pendaftaran Sabah yang masih diguna pakai khasnya di negeri Sabah.
Dengan ini, majlis Dewan yang mulia ini perlu ditangguhkan untuk membincangkan tindakan terhadap perkara yang tertentu ini bahawa rakyat Malaysia yang diragui ini dan mendakwa sebagai Sultan Sulu ke-33 walhal kepulauan Sulu adalah dalam negara jiran Filipina, manakala pertabalan diadakan dalam negara Malaysia yang berdaulat.
Perkara ini adalah merupakan kepentingan bagi orang ramai dan nampaknya telah menjejaskan hubungan dua negara di antara Malaysia dan Filipina.
Datuk Eric E. Majimbun - Sepanggar
Peristiwa ini juga telah mengukuhkan kecurigaan dan dakwaan majoriti rakyat Malaysia khasnya di Sabah terhadap pendatang asing yang mudah untuk mendapat dokumen peribadi sebagai rakyat Malaysia.
Memandangkan perkara ini sangat serius, maka dengan ini saya mencadangkan hal ini amat dikehendaki dan perlu disegerakan atas sebab keselamatan negara kita dengan dakwaan Datu Mohd. Akjan bahawa kerajaan mempunyai ramai orang terutamanya mereka yang berketurunan Tausug bukan sahaja di provinsi Sulu tetapi di sebahagian Pulau Borneo termasuk di Sabah. Maka dengan ini sendirinya menimbul tuntutan hak terhadap negeri Sabah. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Datuk Dr. Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar
Terima kasih Yang Berhormat.
Ahli-ahli Yang Berhormat, saya telah menerima satu Pemberitahu Usul di bawah Peraturan Mesyuarat 18(1) daripada Ahli Yang Berhormat Kawasan Sepanggar pada hari Khamis, 3 Mac 2011. Teks usul itu adalah seperti yang dibaca oleh Yang Berhormat sebentar tadi.
Timbalan Yang di-Pertua - Datuk Dr. Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar
Bagi membolehkan perkara ini ditimbangkan oleh Majlis Mesyuarat ini, saya sebagai Tuan Yang di-Pertua hendaklah berpuas hati bahawa perkara yang dibangkitkan
oleh Yang Berhormat itu memenuhi tiga syarat iaitu
(i) bahawa perkara itu tertentu;
(ii) bagi kepentingan orang ramai; dan
(iii) ia berkehendak disegerakan.
Saya telah meneliti perkara ini dan saya dapati bahawa perkara ini ialah perkara yang tertentu dan bagi kepentingan orang ramai, walau bagaimanapun perkara ini tidak perlu disegerakan kerana mengenai perkara pertabalan Sultan Sulu ini adalah dalam tindakan Kementerian Dalam Negeri iaitu melalui siasatan oleh Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Pendaftaran Negara. Oleh itu perkara ini tidak perlu disegerakan. Oleh yang demikian, saya menolak usul ini di bawah Peraturan Mesyuarat 18(2).
Rang Undang-undang bernama suatu akta untuk meminda Akta Penggalakan Pelaburan 1986; dibawa ke dalam Mesyuarat oleh Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri II [Dato’ Jacob Dungau Sagan]; dibaca kali yang pertama; akan dibacakan kali yang kedua pada Mesyuarat kali ini.
Rang Undang-undang bernama suatu akta untuk menubuhkan Majlis Veteran Kebangsaan untuk membuat peruntukan bagi pendaftaran veteran dan persatuan veteran dan untuk membuat peruntukan bagi perkara-perkara yang berkaitan dengannya; dibawa ke dalam Mesyuarat oleh Menteri Pertahanan [Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi]; dibaca kali yang pertama; akan dibacakan kali yang kedua pada Mesyuarat kali ini.
Timbalan Yang di-Pertua - Datuk Dr. Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar
Ada yang menyokong?
Timbalan Menteri Kerja Raya - Dato’ Yong Khoon Seng
Tuan Yang di-Pertua, saya mohon menyokong.
Timbalan Yang di-Pertua - Datuk Dr. Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar
Ahli-ahli Yang Berhormat, masalahnya ialah usul Yang Berhormat Menteri Dalam Negeri yang telah dibaca tadi hendaklah disetujukan.
Usul dikemuka bagi diputuskan dan disetujukan.
Usul disetujukan.
Datuk Wira Haji Ahmad Hamzah - Jasin
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Bismillaahir Rahmaanir Rahiim. Assalamualaikum Warrahmatullahi Wabarakatuh. Salam sejahtera, Salam 1Malaysia. Pertama sekali marilah kita mengucapkan syukur kepada Allah SWT kerana telah diberikan kesihatan badan, kekuatan mental dan kelapangan masa untuk kita menghadiri sidang Dewan yang mulia kali pertama, Penggal Keempat bagi Parlimen Kedua Belas.
[Timbalan Yang di-Pertua (Datuk Ronald Kiandee) mempengerusikan Mesyuarat] Kehadiran kita adalah semata-mata bagi menyempurnakan amanah dan tanggungjawab sebagai wakil rakyat yang dipilih oleh rakyat. Tuan Yang di-Pertua...
Timbalan Yang di-Pertua - Datuk Ronald Kiandee
Yang Berhormat Jasin, untuk mengurus masa debat bagi usul ini, saya ingin memaklumkan bahawa kita memberi tempoh selama 90 minit bagi Yang Berhormat untuk membahaskan isu. Maksimum 90 minit sahaja, Yang Berhormat. Kemudian pihak sebelah sini pun akan dibagi masa yang sama. Selepas itu, Ahli Parlimen yang lain akan dibagi 30 minit setiap seorang.
Datuk Wira Haji Ahmad Hamzah - Jasin
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Boleh saya sambung?
Timbalan Yang di-Pertua - Datuk Ronald Kiandee
Ya.
Datuk Wira Haji Ahmad Hamzah - Jasin
Saya Ahmad bin Hamzah, Ahli Dewan Rakyat Malaysia bagi kawasan Jasin negeri Melaka dengan ini memohon untuk mencadangkan usul menjunjung kasih kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin Ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Al- Muktafi Billal Shah kerana sudi berangkat menyampaikan titah ucapan di Persidangan Penggal Keempat, Parlimen Kedua Belas pada hari semalam bersamaan 7 Mac 2011, 2 Rabiulakhir 1432 Hijrah. Usul saya adalah seperti berikut:
Bahawa suatu ucapan yang tidak sepertinya dipersembahkan kepada Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong, demikian bunyinya; “Ampun Tuanku, Patik, Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Dewan Rakyat Malaysia di dalam Persidangan Parlimen memohon ampun mempersembahkan suatu ucapan yang ikhlas daripada Majlis Dewan Rakyat mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih, syukur dan menjunjung kasih di atas titah ucapan Tuanku semasa membuka Persidangan Penggal Keempat Parlimen Kedua Belas.”
Datuk Wira Haji Ahmad Hamzah - Jasin
Tuan Yang di-Pertua, sebelum saya meneruskan ucapan ini, izinkan saya merakamkan rasa ucapan takziah kepada keluarga serta seluruh sanak saudara dan sahabat handai Allahyarham Yang Berhormat Datuk Mohamad Hidhir bin Abu Hassan, Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Merlimau. Keduanya Allahyarham Yang Berhormat Datuk Zaharuddin bin Abu Kassim, Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Kerdau dan ketiganya Allahyarham Yang Berhormat Datuk Sulaiman Taha, Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Tenang yang telah kembali ke Rahmatullah baru-baru ini. Kita berdoa kepada Allah SWT semoga ketiga-tiga mereka ini dilimpahi rahmat dan diletakkan bersama- sama dengan orang yang beriman.
Tuan Yang di-Pertua, seterusnya diucapkan tahniah di atas kejayaan cemerlang Barisan Nasional... [Tepuk] Telah berjaya mengekalkan ketiga-tiga DUN iaitu DUN Tenang, DUN Merlimau dan juga DUN Kerdau... [Tepuk] Dengan majoriti yang meningkat dan juga selesa... [Tepuk]
Datuk Wira Haji Ahmad Hamzah - Jasin
Keputusan tersebut jelas menunjukkan bahawa bermula di Manik Urai, disusuli pula di Bagan Pinang dan juga di Batu Sapi, kini rakyat telah kembali yakin dan memberikan sokongan yang padu kepada kepimpinan kerajaan Barisan Nasional sebagai parti pemerintah.
Tuan Yang di-Pertua, titah perasmian oleh Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah menyentuh pelbagai perkara dan isu-isu semasa yang saya kira perlu kita berikan perhatian serius oleh semua rakan-rakan di dalam Dewan yang mulia ini. Seharusnya kita menghayati Titah Ucapan Duli Baginda dan sama-samalah kita mengambil iktibar dan dijadikan sebagai pedoman untuk kita meneruskan tugas dan amanah sebagai wakil rakyat yang bertanggungjawab dan berintegriti serta sebagai penggubal undang-undang yang sentiasa menjunjung Perlembagaan di Dewan yang mulia ini.
Tuan Yang di-Pertua, saya ingin memulakan perbahasan dengan merujuk kepada isu kehidupan harian yang berpaksikan kepada pengurusan ekonomi negara. Dalam konteks ini pencapaian Yang Amat Berhormat Perdana Menteri kita di dalam mengemudikan ekonomi negara seharusnya diberikan kepujian. Menurut pakar ekonomi, antara elemen penting bagi mengukur sejauh manakah pencapaian ekonomi negara ialah dari segi kadar inflasi, pertamanya; kadar pengangguran, keduanya; dan jualan barangan pembuatan. Semua indicator ini, bakal mencorakkan ekonomi sesebuah negara.
Kepujian wajar diberikan kerana dalam masa setahun beliau telah berjaya memulihkannya dari penguncupan -1.7 peratus pada tahun 2009 kepada pertumbuhan yang cukup kukuh sebanyak 7.2 peratus pada tahun lalu. Sepertimana yang telah diumumkan pada 18 Februari 2011 oleh Bank Negara Malaysia dan Kementerian Kewangan. Kadar 7.2 peratus itu jauh lebih tinggi daripada 2 peratus hingga 3 peratus yang diunjurkan semasa Yang Amat Berhormat Perdana Menteri membentangkan Bajet 2010 pada 23 Oktober tahun 2009. Juga angka ini melebihi unjuran yang disemak semula semasa membentangkan Bajet 2012 yang diunjurkan 7 peratus. Syabas saya ucapkan kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri.
Tuan Yang di-Pertua, saya berpendirian bahawa prestasi pertumbuhan 7.2 peratus itu sungguh cemerlang di dalam konteks persekitaran ekonomi global yang sukar dan tidak menentu. Ia amat wajar kita sama-sama raikan kerana ia merupakan kadar pertumbuhan yang tertinggi sejak sedekad yang lalu. Untuk rekod Dewan yang mulia ini, kadar tertinggi sebelum ini ialah pada tahun 2000 yang mencatatkan pertumbuhan sebanyak 8.9 peratus.
Pengumuman oleh Bank Negara Malaysia dan Kementerian Kewangan ini mengesahkan bahawa kepimpinan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri kita telah berjaya mengemudikan ekonomi negara keluar daripada cengkaman kemelesetan ekonomi dunia. Untuk makluman Ahli-ahli Yang Berhormat, kemelesetan ekonomi dunia baru-baru ini turut telah menyebabkan ekonomi negara kita jatuh yang mencatatkan pertumbuhan -1.7 peratus pada tahun 2009 sepertimana yang saya nyatakan sebentar tadi. Akan tetapi pada tahun 2010, ekonomi kita telah melonjak ke angka 7.2 peratus.
Datuk Wira Haji Ahmad Hamzah - Jasin
Tuan Yang di-Pertua, peluang pekerjaan dan kadar pengangguran. Dari rekod yang saya peroleh, selain daripada aktiviti ekonomi yang rancak itu, peluang pekerjaan juga banyak. Terbukti kerajaan telah berjaya menjana peluang tersebut apabila kadar pengangguran sehingga suku ketiga 2010 kekal di bawah 4 peratus. Jelas di sini ungkapan slogan 1Malaysia, “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan” telah bertukar menjadi satu kenyataan dan juga realiti. Ia bukanlah satu retorik politik semata-mata seperti tohmahan yang selalu dilemparkan oleh sesetengah-setengah pihak terutamanya parti pembangkang. Tahniah kita ucapkan di atas pencapaian Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dan anggota Kabinet yang selama bertungkus lumus menaikkan prestasi ekonomi negara, terutama apabila kita bandingkan dengan prestasi muram beberapa pemimpin negara maju seperti Presiden Amerika Syarikat, Presiden Perancis dan gandingan golongan muda Perdana Menteri United Kingdom. Mereka pada ketika ini sedang berhempas pulas mengatasi masalah pengangguran yang tinggi di negara mereka.
Mengikut rekod, kadar pengangguran di Amerika Syarikat adalah 9.1 peratus manakala Malaysia hanya 3.8 peratus sahaja. Perancis pada ketika ini 9.7 peratus dan United Kingdom 7.9 peratus. Malah di seluruh European Union juga tinggi. Sekalipun GDP masing-masing telah mencapai ataupun mencatat pertumbuhan yang positif, Amerika Syarikat 2.9 peratus, Perancis 1.5 peratus dan United Kingdom hanya 1.6 peratus.
Kadar pertumbuhan ekonomi yang positif tetapi kadar pengangguran tetap kekal tinggi. Ini bermakna dalam bahasa yang mudah, negara sihat akan tetapi rakyat menderita penyakit kemiskinan. Begitulah sebenarnya analogi senario kehidupan rakyat USA, Perancis dan United Kingdom pada masa ini. Di Malaysia pula, belum pernah saya mendengar rakyat mati kebuluran kerana kita tidak ada makanan. Kita cukup prihatin jika terdapat golongan seperti ini, bantuan segera datang mencurah-curah. Malah mereka begitu mewah sekali. Pelbagai media dan agensi korporat cepat tampil membantu...
Datuk Ir. Haji Idris bin Haji Haron - Tangga Batu
[Bangun]
Datuk Wira Ahmad Hamzah - Jasin
Tuan Yang di-Pertua... Sila sahabat.
Timbalan Yang di-Pertua - Datuk Ronald Kiandee
Ya.
Datuk Ir. Haji Idris bin Haji Haron - Tangga Batu
Terima kasih Tuan Yang di- Pertua. Yang Berhormat Jasin berbahas dengan begitu baik dengan fakta dan angka, yang menampakkan ada keterampilan serta kewibawaan kerajaan pada ketika ini membawa negara melepasi belenggu ekonomi yang agak buruk pada ketika ini – dunia.
Tahniah juga Yang Berhormat Jasin selaku Timbalan Pengarah Pilihan Raya Kecil DUN Merlimau yang telah menang dengan bergaya tempoh hari. Selain daripada itu, pihak Suruhanjaya Pilihan Raya pun nampaknya bertugas dalam keadaan yang amat berkecuali, bebas dan terbukti sistem pilihan raya negara kita boleh dipercayai dan boleh diharap.
Tuan Yang di-Pertua, saya hendak tanya, hendak minta penjelasan sedikit tentang angka-angka yang dibawa oleh Yang Berhormat Jasin. Saya dengar Yang Berhormat slogan “Merlimau DUN Ku Sayang” telah menambat hati pengundi-pengundi. Kita lari jauh daripada fitnah, lari jauh daripada pembohongan dan sebagainya dan kita membawa sifat- sifat mulia ini, nilai-nilai murni ini. Adakah Yang Berhormat boleh bersetuju dengan saya jika saya katakan apa yang dibawa oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri pada kepimpinan beliau kali ini adalah ke arah kehidupan yang sempurna dengan mewujudkan satu kaedah mencari persamaan, mengecilkan perbezaan? Semangat kasih sayang yang juga mendorong kepada menyerlahnya angka-angka positif tadi - pengangguran di bawah 4 peratus , pertumbuhan ekonomi melebihi 7.2 peratus. Adakah semangat-semangat, nilai- nilai ini tadi boleh membawa kepada pencapaian angka-angka tersebut Yang Berhormat Jasin? Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Datuk Wira Haji Ahmad Hamzah - Jasin
Terima kasih sahabat saya daripada Tangga Batu. Saya minta kalau boleh ucapan beliau tadi dimasukkan sebahagian daripada teks saya. Memang cukup tepat Yang Berhormat.
Datuk Wira Haji Ahmad Hamzah - Jasin
Seharusnyalah seperti yang saya sebut tadi, pencapaian oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri seharusnya diraikan dan kita seharusnya memberikan satu penghargaan tertinggi. Ini kerana seperti yang saya sebut tadi, saya membuat perbandingan di antara negeri-negeri maju, kita ialah sebuah negara membangun tetapi telah mencatatkan satu pencapaian yang cukup cemerlang sekali. Seharusnyalah kita mengucap syukur ke hadrat Allah SWT mempunyai seorang pemimpin yang mempunyai wawasan yang cukup berwibawa.
Tuan Mohd. Nasir bin Zakaria - Padang Terap
[Bangun]
Datuk Wira Haji Ahmad Hamzah - Jasin
Kemenangan kesemua pilihan raya ketiga-tiga DUN ini ialah hasil daripada kecemerlangan kepimpinan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri yang telah terbukti. Jadi, rakyat semakin meyakini kerajaan pada ketika ini.
Saya sambung ucapan saya Tuan Yang di-Pertua...
Tuan Mohd. Nasir bin Zakaria - Padang Terap
Saya minta ruang.
Timbalan Yang di-Pertua - Datuk Ronald Kiandee
Ya. Hendak beri jalan Yang Berhormat? Yang Berhormat Padang Terap.
Tuan Mohd. Nasir bin Zakaria - Padang Terap
Terima kasih Tuan Yang di- Pertua, terima kasih Yang Berhormat Jasin. Saya ucap tahniahlah kemenangan Barisan Nasional di pilihan raya kecil yang terakhir. Saya hendak tanya, dalam pilihan raya kecil di Tenang, saya lihat banyak signboard yang diangkat ataupun yang dipasang sempena pilihan raya kecil tersebut. Dalam signboards ini ditulis dengan besar “Rakyat Diutamakan” tanpa ditulis “Pencapaian Diutamakan”. Tidak ada dalam signboards yang saya lihat sepanjang pilihan raya kecil di Tenang, yang ada “Rakyat Diutamakan”. “Pencapaian Diutamakan” dihilangkan, dihapuskan. Apa sebabnya agak-agak? Terima kasih.
Datuk Wira Haji Ahmad Hamzah - Jasin
Terima kasih Yang Berhormat daripada Padang Terap. Apa pun, kita mengucap syukur di atas kemenangan dan saya berterima kasih, sekurang-kurangnya sahabat-sahabat saya daripada pembangkang telah memberikan satu recognition, dengan izin di atas kemenangan tersebut. Tidak usahlah kita bangkit-bangkitkan lagi... [Ketawa] Ini adalah keputusan daripada rakyat yang telah diberikan peluang untuk memilih. Saya sambung balik ucapan saya Tuan Yang di-Pertua...
Ir. Haji Hamim bin Samuri - Ledang
[Bangun]
Datuk Wira Haji Ahmad Hamzah - Jasin
Sila.
Ir. Haji Hamim bin Samuri - Ledang
Terima kasih sahabat saya Yang Berhormat Jasin. Kita bawa balik ke Merlimau sebab... Tuan Yang di-Pertua, salah satu daripada resipi kejayaan yang sedang kita raikan ini ialah hasil daripada Gagasan 1Malaysia seperti yang diilhamkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri. Gagasan 1Malaysia ini Yang Berhormat Jasin, adalah gagasan seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira parti. Yang Berhormat Balik Pulau, tanpa mengira parti ya Yang Berhormat Jasin. Maknanya adalah gagasan seluruh rakyat Malaysia.
Akan tetapi Yang Berhormat Jasin, saya ingin bertanya, yang berlaku di Merlimau baru-baru ini, ada satu halangan dibuat oleh pihak SPR sendiri. Mereka menghalang individu tidak kiralah, termasuklah kita sendiri, yang tanpa menggunakan lambang parti – kita tidak pakai lambang parti pun. Pertama, kita tidak pakai lambang parti. Daripada masuk ke kawasan larangan walaupun kita hendak menghantar orang untuk menolong supaya mereka mudah masuk ke kawasan undi, tidak dibenarkan. Malahan Yang Berhormat Jasin, saya difahamkan ada taklimat daripada pegawai SPR sendiri bahawa lambang atau logo 1Malaysia itu tidak boleh digunakan semasa dalam kawasan larangan itu, semasa hari mengundi. Saya difahamkan begitu juga di Kerdau.
Jadi Yang Berhormat Jasin, saya ingin penjelasan, adakah Yang Berhormat Jasin bersetuju perkara ini berlaku? Ini kerana pada saya lambang 1Malaysia boleh digunakan semua pihak, malahan pegawai SPR pun boleh menggunakan lambang 1Malaysia.
Sepatutnya tidak ada halangan. Ini bukannya lambang parti. Ini adalah wawasan, wawasan negara, gagasan yang telah diilhamkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri.
Ir. Haji Hamim bin Samuri - Ledang
Kalau begitu, akan datang mungkin kalaulah lambang ini tidak boleh digunakan, mungkin satu masa nanti kalaulah pakai songkok itu menjadi satu masalah kepada parti ataupun digambarkan sebagai suatu kempen, songkok pun suatu masa nanti tidak boleh dipakai oleh agen, oleh kaunter agen seperti penggunaan lambang 1Malaysia yang tidak dibenarkan dalam kawasan larangan seperti yang dilarang kepada polling agent, counting agent. Apa pandangan Yang Berhormat Jasin?
Tuan Mohd. Yusmadi Mohd. Yusoff - Balik Pulau
Yang Berhormat Jasin, boleh Balik Pulau sedikit? Sedikit sahaja.
Datuk Wira Haji Ahmad Hamzah - Jasin
Ya.
Tuan Mohd. Yusmadi Mohd. Yusoff - Balik Pulau
Saya sebenarnya agak boleh bersetuju dengan Yang Berhormat Jasin tadi mengatakan bahawa ada sedikit kejayaan dari segi pendekatan ekonomi yang dibuat itu. Akan tetapi, saya mohon Yang Berhormat Jasin tolong jelaskan kepada saya kerana saya pun - mungkin rakyat-rakyat di Malaysia, terutama di Merlimau baru-baru ini dapat diyakinkan. Itu keputusan. Kita terima keputusan itu.
Akan tetapi, mungkin Yang Berhormat Jasin boleh jelaskan kerana saya rasa warga asing dan orang luar ramai tidak yakin lagi ini. Contohnya report, dengan izin, oleh Global Financial Integrity melaporkan Malaysia dalam tahun 2000 punya illicit money outflow RM67.7 bilion iaitu lebih kurang USD22.2 bilion. Selepas itu, lapan tahun kemudian meningkat sehingga RM208 bilion, dalam USD lebih kurang USD68.2 bilion.
So, kalau perkara ini berlaku di negara lain, bilion ini sampai mencecah RM208 bilion, ia dipanggil illicit money outflow daripada duit keluar masuk haram ini, saya rasa ini satu krisis. Mungkin saya rasa dalam hal ini Yang Berhormat Jasin mungkin betul, masyarakat di Merlimau, di Kerdau diyakinkan. Akan tetapi, saya rasa warga luar yang kita perlu respons kerana kita perlu bersaing dalam pasaran ekonomi terbuka ini, kita juga perlu yakinkan mereka. Pohon penjelasan.
Datuk Wira Haji Ahmad Hamzah - Jasin
Terima kasih sahabat saya daripada Ledang. Saya memang cukup bersetuju tetapi bagaimanapun, kita pulangkan kepada SPR untuk sama-sama memikirkan bahawa lambang 1Malaysia ini kalau boleh bukan satu kesalahan. Akan tetapi, kerana mereka sebagai satu agensi yang bebas untuk memantau perjalanan pilihan raya yang terbaik, jadi kita terpaksa terima keputusan tersebut. Ini kerana Tuan Yang di-Pertua, telah diakui pilihan raya di Malaysia setanding dengan pilihan raya yang diadakan di negara-negara maju... [Tepuk] Ini dalam rekod Tuan Yang di-Pertua.
Keduanya, sahabat saya Yang Berhormat daripada Balik Pulau tadi. Sebenarnya inilah angka-angka yang selalu dilaung-laungkan oleh parti pembangkang bukan sahaja dalam blog, tetapi semasa kita berkempen. Sebenarnya apa yang dikeluarkan ialah banyak kesilapan. Ini angka daripada fakta sebenar yang saya ingin sebutkan tentang isu hutang negara tetapi kita tidak ada mempunyai masa. Akan tetapi apa pun Tuan Yang di-Pertua, perbandingan yang dibuat oleh sahabat saya daripada Balik Pulau tadi tidak tepat. Kalau kita lihat di sini, tentang hutang negara sahaja, kita di antara yang paling terendah sekali.
Kalau kita lihat daripada defisit fiskal kita, kalau kita bandingkan negeri kita dengan negara-negara maju, kita jauh lebih terbaik. Jadi, janganlah hendaknya kita melakukan apa- apa fitnah. Jauh... saya tidak cakap pembohongan tetapi perkara yang tidak benar kita laung-laungkan kepada masyarakat dan perkara ini kita takut diselewengkan dan disalahertikan. Seharusnya kita sebagai rakyat Malaysia, kalau boleh berikan satu gambaran yang baik kepada negara kita supaya rakyat-rakyat luar meyakini kita, pelabur- pelabur asing akan datang terus melabur modal di negara kita.
Tuan Yang di-Pertua, saya sambung terus ucapan saya. Lihatlah – saya hendak beri contoh satu banjir besar yang melanda negeri Johor baru-baru ini dan juga negeri Melaka tidak ketinggalan, di kawasan saya di Jasin terutamanya. Saya menyokong penuh cadangan Yang Amat Berhormat Ketua Menteri Negeri Melaka yang memohon pada Kerajaan Pusat satu peruntukan dana yang besar sebanyak RM2 bilion, bagi tujuan pelaksanaan tebatan banjir bagi seluruh negeri Melaka termasuk kawasan saya dalam Parlimen Jasin. Saya memohon kalau boleh kerajaan memberikan pertimbangan.
Dato’ Shamsul Anuar Nasarah - Lenggong
[Bangun]
Datuk Wira Haji Ahmad Hamzah - Jasin
Kita yakin dengan adanya wang tersebut, kalaupun diturunkan secara berperingkat-peringkat, kita dapat mengatasi masalah banjir yang boleh menyebabkan banyak kehilangan.
Dato’ Shamsul Anuar Nasarah - Lenggong
Yang Berhormat Jasin, banjir tadi.
Timbalan Yang di-Pertua - Datuk Ronald Kiandee
Yang Berhormat Lenggong, Yang Berhormat.
Dato’ Shamsul Anuar Nasarah - Lenggong
Tuan Yang di-Pertua, terima kasih Yang Berhormat Jasin. Kita tahu bahawa dengan perubahan cuaca yang berlaku ketika ini, didapati ada kawasan-kawasan yang sebelum ini tidak dinaiki air, sekarang banjir. Ada juga kawasan yang dahulu banjir, hari ini sudah pun tidak banjir.
Dato’ Shamsul Anuar Nasarah - Lenggong
Maknanya kesan besar berlaku apabila berlaku perubahan cuaca el nino dan sebagainya. Jadi saya hendak tanya pandangan Yang Berhormat Jasin, mungkinkah kita perlu minta supaya kerajaan melalui kementerian yang berkaitan, mungkin sudah ada kajian dan membuat kajian semula dan memperbaharui kajian-kajian yang dibuat, mungkin kajian yang dibuat sebelum ini tentang program-program tebatan banjir di setengah- setengah kawasan itu telahpun tidak sesuai lagi dengan perubahan keadaan yang berlaku ini dan memerlukan satu perancangan dan juga kajian yang lebih terkini sifatnya supaya setiap wang yang akan kerajaan belanjakan selepas ini bagi mengatasi setiap masalah banjir dan juga masalah bencana lain ini benar-benar menepati kehendak dan menyelesaikan isu yang berlaku. Apakah kajian itu perlu atau tidak?
Datuk Wira Haji Ahmad Hamzah - Jasin
Terima kasih sahabat saya daripada Lenggong. Saya minta kalau boleh ucapannya dimasukkan ke dalam teks saya. Memang tepatlah sahabat, tetapi saya hendak teruskan ucapan saya. Saya telah berpeluang untuk melawat dan membantu mangsa banjir dan saya bersimpati dengan mereka. Mereka terpaksa bersesak-sesak tidur dalam dewan yang kecil, berkongsi bilik air, tidak ada privasi dan suasana yang bising. Akan tetapi apa yang saya ingin bangkitkan di sini, ialah bantuan yang datang mencurah-curah mewah dari segi makanan, kelengkapan tidur, pampers, selimut dan juga pakaian. Apa yang saya perhatikan ialah, hanya pada hari pertama sahaja Tuan Yang di-Pertua, mangsa-mangsa banjir kita ini makan nasi berlaukkan ikan sardin dalam tin. Akan tetapi pada hari seterusnya mereka dihidangkan dengan lauk-pauk yang begitu mewah sekali.
Saya cukup teruja dan terima kasih kepada agensi serta individu yang telah menghulurkan bantuan, daripada kerajaan malah selepas banjir begitu ramai orang perseorangan, agensi serta syarikat korporat turun padang melaksanakan CSR, misalnya membersihkan rumah mereka. Pihak bank pula yang begitu prihatin bersetuju menangguhkan pembayaran bulanan pinjaman rumah, MARA turut membantu pelajar yang terkandas dalam peperiksaan, IKM pula tampil menghulurkan bantuan perkhidmatan membaiki motosikal yang rosak akibat ditenggelami air secara percuma. Bantuan kerajaan negeri dan pusat juga melimpah ruah. Sebenarnya rakyat Malaysia adalah rakyat yang sentiasa penyayang. Diakui bahawa kombinasi semua bantuan ini memang tidak dapat mengembalikan kehidupan mereka ke tahap asal, tetapi sekurang-kurangnya boleh membantu meringankan beban mangsa.
Lihatlah betapa beruntungnya rakyat Malaysia yang berada dalam persekitaran ekonomi yang positif dan iklim politik yang stabil di bawah payung Barisan Nasional. Firman Allah dalam surah Ibrahim ayat ke tujuh yang bermaksud, “Sekiranya engkau bersyukur di atas nikmat Allah, Allah akan tambah, sekiranya engkau kufurkan nikmat Allah, sesungguhnya azabKu amat pedih.” Tuan Yang di-Pertua, kadar inflasi yang sederhana. Selain daripada pekerjaan, kadar inflasi perlu juga diberikan perhatian oleh kerajaan. Apa yang diperlukan oleh sebuah ekonomi untuk terus tumbuh secara sihat ialah kadar inflasi yang sederhana atau dengan izin, moderate bukan deflasi seperti Jepun - 0.8 peratus. Bukan rendah seperti Belanda iaitu 1.1 peratus dan bukan hyperinflation, dengan izin, seperti yang berlaku di Venezuela sebanyak 28.3 peratus. Kita hanya 1.7 peratus sahaja. Jelas di sini Yang Amat Berhormat Perdana Menteri telah berjaya menguruskan kadar inflasi di tahap sederhana 1.7 peratus.
Datuk Wira Haji Ahmad Hamzah - Jasin
Ianya baik untuk masyarakat peniaga dan tidak pula menghakis disposable income, dengan izin, atau kuasa beli jika pendapatan isi rumah meningkat lebih tinggi daripada kadar inflasi itu.
Tuan Yang di-Pertua, saya pergi pula kepada kadar kemiskinan. Ekoran daripada pertumbuhan ekonomi dan peningkatan pendapatan itu maka kadar kemiskinan telah dapat dikurangkan daripada 5.7 peratus pada tahun 2004 kepada 3.8 peratus pada tahun 2009.
Kadar ini sebenarnya jauh lebih rendah daripada apa yang terdapat di Amerika, di mana kadar kemiskinannya adalah sekitar 14.3 peratus. Di kalangan warga kulit hitam pula kadarnya ialah 25.8 peratus hampir empat kali ganda lebih tinggi daripada Malaysia. Boleh dibayangkan hampir ¼ rakyat Amerika yang berkulit hitam terutamanya di bandar-bandar besar tidak mempunyai pekerjaan tetap dan terpaksa menganggur.
Tuan Yang di-Pertua, jurang pendapatan menggunakan pula nisbah nilai pendapatan sebagai ukuran proksi jurang antara inter kaum, antara kawasan, jurang luar bandar dan juga bandar telah mengecil daripada RM1 bagi luar bandar dan RM2.11 sen bagi bandar, itu pada tahun 2004 kepada RM1 di luar bandar dan RM1.85 sen di bandar pada tahun 2009. Jurang pendapatan antara kaum juga telah mengecil. Mengambil kira kejayaan-kejayaan ini maka persamaan yang cuba dibuat oleh Ketua Pembangkang antara Malaysia dan negara-negara Timur Tengah dalam ceramah dan blognya adalah tidak tepat.
Justeru harapan pihak pembangkang agar kesan domino yang berlaku di Timur Tengah untuk berjangkit ke Malaysia adalah amat tipis sekali...
Dato’ Ismail bin Abd. Muttalib - Maran
[Bangun]
Datuk Wira Haji Ahmad Hamzah - Jasin
Ya, Yang Berhormat.
Timbalan Yang di-Pertua - Datuk Ronald Kiandee
Ya, Yang Berhormat Maran.
Dato’ Ismail bin Abd. Muttalib - Maran
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, terima kasih sahabat saya Yang Berhormat Jasin. Kalau usaha dibuat oleh kerajaan cukup banyak Yang Berhormat Jasin, dari hendak membangunkan rakyat miskin dari segi kemudahan asas, hendak menambahkan pendapatan dan sebagainya adalah cukup besar sekali. Cuma saya hendak tarik apa Yang Berhormat sebutkan di sini konsep syukur tadi.
Saya lihat sebagai rakyat Malaysia, umur saya sudah hampir 50 lebih Yang Berhormat Jasin, kita tengok pembangunan, projek, kemudahan, apa juga program yang dibangunkan oleh kerajaan semuanya ke arah kebaikan rakyat negara kita. Saya kiralah kalau semua rakyat negara ini bersyukur dan berterima kasih dengan apa yang dilaksanakan oleh kerajaan tidak ada sebab kenapa negara kita tidak boleh menjadi negara yang membangun dan maju pada tahun 2020 dan sebagainya...
Seorang Ahli
[Menyampuk]
Dato’ Ismail bin Abd. Muttalib - Maran
Sabarlah. Saya bercakap. Akan tetapi malangnya Yang Berhormat Jasin, kita tengok pilihan raya baru ini pun sebenarnya orang sebelah sana pembangkang, yang malangnya budak-budak kecil dibawa bersamanya.
Orang muda diajar bagaimana menghasut kerajaan, bagaimana hendak memburukkan kerajaan, bagaimana hendak menafikan sumbangan jasa yang dimainkan oleh kerajaan.
Bukan kerana Barisan Nasional tetapi kerajaan itu sendiri. Bahkan mereka sendiri pun mendapat faedah ini.
Saya terlalu kecewa sebab itulah saya hendak menarik apa Yang Berhormat Jasin sebutkan tadi, mereka ini cuba hendak mengalihkan, hendak mengambil pendekatan yang dibawa oleh negara luar. Negara luar berbeza dengan negara kita. Hari ini negara kita aman dan makmur, Yang Berhormat Jasin bukan kerana kita di sini semuanya adalah diperjuangkan oleh pasukan keselamatan kita, polis, tentera, pejuang-pejuang dahulu, kita hanya menikmati sahaja. Andai kata berlaku malapetaka dan bencana seperti mana berlaku di negara lain, huru-hara dan sebagainya ia tidak pilih sesiapa Yang Berhormat Jasin, dia tidak pilih Barisan Nasional, dia tidak pilih Yang Berhormat Jasin sebagai lembaran tetapi akan mengenai semua masyarakat dalam negara kita termasuklah mereka yang tidak berdosa.
Dato’ Ismail bin Abd. Muttalib - Maran
Saya minta pandangan Yang Berhormat Jasin bagaimana caranya kalau boleh supaya kalau kita berkempen-kempen ini Yang Berhormat Jasin kita boleh menang dalam politik, boleh menang apabila rakyat tertarik dengan kita. Akan tetapi kalau kita semata- mata hendak menghasut rakyat kerana hendak menang pilihan raya ini bukan caranya. Ini maknanya kita tidak bersyukur. Jadi bagaimana, saya minta Yang Berhormat Jasin. Kalau boleh Yang Berhormat Jasin perkenalkan satu pendekatan yang lebih baik supaya orang sebelah sana khususnya sedar, bukan menghasut caranya untuk kita menang. Rakyat hari ini telah melihat bagaimana pembangkang sebenarnya telah tidak ada modal lagi...
[Ketawa] Saya yakin bahawa insya-Allah rakyat kita akan kita didik, akan diberi kesedaran bahawa mereka ataupun kerajaan yang berjasa sahaja yang akan dipilih pada masa akan datang. Terima kasih banyak.
Datuk Bung Moktar bin Radin - Kinabatangan
Yang Berhormat Jasin boleh menjawab sekalikah?
Timbalan Yang di-Pertua - Datuk Ronald Kiandee
Ya.
Datuk Bung Moktar bin Radin - Kinabatangan
a, terima kasih Yang Berhormat Jasin, terima kasih Tuan Yang Di-Pertua. Saya sehaluan dengan rakan-rakan yang lain, ini tidak bermakna saya dipihak Barisan Nasional. Akan tetapi kita melihat dari seluruh sudut yang besar, apakah yang akan berlaku di dalam negara kita sekiranya huru-hara setiap hari sedangkan huru-hara itu tidak seharusnya berlaku. Malaysia tidak boleh disamakan dengan Mesir, Libya. Ini kerana pemimpinnya sangat kaya dan kuku besi, di sini kita mempunyai Kerajaan Selangor, Kerajaan Kelantan, Kerajaan Pulau Pinang sebagai pembangkang dan di sana tidak ada serta di Kedah pun ada.
Jadi apa yang disarankan oleh pembangkang ini merupakan satu perkara pada saya yang tidak rasional, tidak boleh diterima oleh akal fikiran yang waras, cuma orang yang gila sahaja boleh menerima cadangan-cadangan yang sebegini. Oleh itu saya meminta Yang Berhormat Jasin memberikan penjelasan yang sejelas-jelasnya bahawa negara ini berada di dalam landasan yang benar dari segi ekonomi, pembangunan dan kerajaan akan terus memantau masalah-masalah rakyat. Banjir di semua negeri, kerajaan bantu tanpa mengira parti pembangkang seperti PAS, DAP dan mana-mana pihak turut dibantu dan semua mendapat subsidi. Akan tetapi apa yang berlaku pembangkang telah memainkan politik, sentimen politik yang pada saya mereka hanya ingin kuasa tanpa memikirkan kepentingan rakyat dan negara, minta penjelasan Yang Berhormat Jasin...
[Tepuk]
Timbalan Yang di-Pertua - Datuk Ronald Kiandee
Ya.
Tuan Chua Tian Chang @ Tian Chua - Batu
Tuan Yang di-Pertua, terima kasih saya di sebelah sini ingin mendapat sedikit nasihat dan juga tunjuk ajar daripada pihak Yang Berhormat Jasin serta kawan-kawan yang lain daripada Barisan Nasional. Saya ingin secara lebih objektif bertanya mengapakah pihak kerajaan telah berkali-kali cuba menafikan dan juga menunjukkan bahawa Malaysia ini memang benar-benar berbeza dengan negara- negara Timur Tengah. Bagi pihak pembangkang, kita pernah membandingkan Malaysia dengan Zimbabwe, Indonesia dan Thailand sebagai satu amaran supaya kita tidak mengikut jejak-jejak itu, itu tidak bermaksud kita mengatakan menghasut ataupun berniat untuk menjadikan negara ke arah begitu. Akan tetapi dari segi negara-negara Timur Tengah, saya berasa hairan kenapa sejak berlakunya revolusi di Mesir, hampir setiap hari pemimpin Barisan Nasional cuba menafikan Malaysia ini ada kemiripan dengan negara Timur Tengah dan isu kesyukuran.
Saya juga ingin bertanya pada pandangan Yang Berhormat Jasin, sama ada rakyat di Mesir dan di Libya itu telah dihasut untuk tidak bersyukur kepada pemimpin- pemimpin negara mereka atau ini adalah satu yang disebabkan oleh faktor-faktor kerajaan ini yang tidak menjaga kepentingan rakyat. Saya juga secara peribadi, saya percaya takkanlah Presiden Mubarak selama 30 tahun ini tidak berjasa, saya juga berasa pemimpin Libya Kolonel Gaddafi pada pandangan saya juga banyak berjasa kerana Libya di bawah pimpinannya telah menjadi negara yang mempunyai taraf hidup yang agak tinggi, stabil dan memberi banyak kebajikan.
Tuan Chua Tian Chang @ Tian Chua - Batu
Saya sendiri telah menyaksikan bagaimana kemajuan yang telah dibawa oleh Kolonel Gaddafi untuk rakyat Libya. Mubarak juga tidak kurang jasanya kepada rakyat Mesir. Adakah pandangan Yang Berhormat Jasin, mereka patut dihalau begitu sahaja dan rakyatnya tidak menunjukkan kesyukuran kepada pemimpin-pemimpin mereka. Terima kasih.
Datuk Wira Haji Ahmad Hamzah - Jasin
Terima kasih Yang Berhormat Batu dan sahabat saya Yang Berhormat Maran dan sahabat saya yang hebat Yang Berhormat Kinabatangan. Saya memberikan satu senario, memberikan penekanan perkataan bersyukur kerana kita sekarang sedang menikmati satu keindahan, kemewahan, kesejahteraan hasil daripada perjuangan pemimpin-pemimpin kita yang kuat bekerja, yang mengamalkan satu sifat ketelusan. Saya hendak memberikan perbandingan, sekali saya rangkumkan sekali, kerana di atas segala kesejahteraan, kemewahan dan pembangunan yang kita dapati, kita mesti bersyukur. Jika Yang Berhormat Batu katakan tadi kenapa rakyat Mesir tidak bersyukur, nanti saya akan berikan gambaran.
Perkara ini terjadi begini disebabkan oleh dua sebab, yang pertamanya kerana politik, kedua disebabkan ekonomi. Pertama tentang politik, jika kebebasan bersuara dan yang keduanya pemilihan yang telus seperti pilihan raya kita. Jika dari segi ekonomi, kita hendak membandingkan negara kita dengan negara Mesir, kita lebih jauh lagi terpelanting tinggi dan negara Mesir terpelanting ke bawah kerana pengangguran yang tinggi, kemiskinan yang tinggi, pencapaian ekonomi yang rendah. Berbanding dengan negara kita, jadi orang tidak susah, orang tidak akan bangkit melawan kepada pemerintah kerana jika pun telah memerintah selama 30 tahun seperti Gaddafi dan Mubarak tetapi tidak ada pembangunan yang dibawa. Lihat kepada pemimpin-pemimpin kita, saya sebut tadi hanya setahun sahaja telah mencatat satu pertumbuhan yang cukup cemerlang, tidakkah kita bersyukur? Jika kita tidak menjadi rakyat yang bersyukur maknanya kita kufur nikmat.
Saya hendak memberikan perbandingan Tuan Yang di-Pertua, di Mesir misalnya kadar inflasi, kadar pengangguran, kadar kemiskinan berkali-kali tinggi daripada Malaysia.
Masing-masing, saya hendak sebutkan angka ini supaya kita dapat membuat satu perbandingan, jangan jadikan ini satu modal politik, jangan jadikan ia salah satu daripada perkara yang kita ceramahkan, kita pesongkan kepala rakyat kita supaya kita dapat memaklumkan kepada mereka perkara sebenar. Lihat apa terjadi di Mesir pada ketika ini, kadar inflasinya 11.4 peratus manakala kita 1.7 peratus bermakna Malaysia number one, sebab itu kita kata 1Malaysia, cukup berjaya. Selepas itu pula kadar pengangguran di Mesir 8.9 peratus manakala kita di Malaysia 3.8 peratus. Jika kita di bawah 4 peratus, ditakrifkan di dalam ILO, dikatakan tiada pengangguran, hebat Malaysia itu.
Selepas itu kita pergi kepada kemiskinan, di Mesir dan di Timur Tengah mempunyai angka kemiskinan 20 peratus , angka kemiskinan kita jika kita lihat tahun 2004 iaitu 5.7 peratus dan pada tahun 2009, hanya 3.8 peratus Malaysia ini hebat. Jadi purata rakyat Mesir terutamanya di bandar besar hidup di bawah paras kemiskinan dengan purata pendapatan di bawah USD2 untuk sehari. Bayangkan betapa daifnya...
Tuan M. Manogaran - Telok Intan
Minta penjelasan.
Datuk Wira Haji Ahmad Hamzah - Jasin
Di kala harga barangan turut melonjak naik...
Tuan M. Manogaran - Telok Intan
Yang Berhormat Jasin...
Datuk Wira Haji Ahmad Hamzah - Jasin
...Syukur....
Timbalan Yang di-Pertua - Datuk Ronald Kiandee
Sebentar.
Datuk Wira Haji Ahmad Hamzah - Jasin
Tidak wujud di negara kita.
Tuan Chua Tian Chang @ Tian Chua - Batu
Boleh...
Timbalan Yang di-Pertua - Datuk Ronald Kiandee
Hendak beri jalan Yang Berhormat?
Datuk Wira Haji Ahmad Hamzah - Jasin
Saya rasa saya teruskan dahulu.
Tuan Chua Tian Chang @ Tian Chua - Batu
Hanya untuk....
Datuk Wira Haji Ahmad Hamzah - Jasin
Kemudian...
Tuan Chua Tian Chang @ Tian Chua - Batu
Sedikit sahaja.
Timbalan Yang di-Pertua - Datuk Ronald Kiandee
Duduk dahulu Yang Berhormat.
Datuk Wira Haji Ahmad Hamzah - Jasin
Saya teruskan yang ini. Jadi berdasarkan analisa ini adalah tidak susah jika tumpuan hanya kita berikan kepada satu angkubah sahaja, misalnya merangsang pertumbuhan ekonomi atau mengawal inflasi, ia tidak tepat.
Tuan N. Gobalakrishnan - Padang Serai
[Bangun]
Datuk Wira Haji Ahmad Hamzah - Jasin
Pembangkang sebenarnya sering membuat perbandingan tentang pencapaian ekonomi Malaysia dengan negara jiran kita terutamanya Singapura. Akan tetapi saya telah lihat sebenarnya kita tidak kurang hebatnya, Singapura ini sebagai sebuah negara yang sebenarnya bergantung kepada satu pendapatan sahaja, berlainan dengan Malaysia...
Timbalan Yang di-Pertua - Datuk Ronald Kiandee
Yang Berhormat...
Datuk Wira Haji Ahmad Hamzah - Jasin
Tuan Yang di-Pertua...
Timbalan Yang di-Pertua, Datuk Ronald Kiandee
Yang Berhormat Padang Serai bangun Yang Berhormat.
Datuk Wira Haji Ahmad Hamzah - Jasin
Sila-sila Yang Berhormat Padang Serai.
Tuan N. Gobalakrishnan - Padang Serai
Terima kasih Yang Berhormat Jasin.
Ini saya bukan hendak menghentam siapa-siapa. Tuan Yang di-Pertua, saya mendengar daripada Yang Berhormat Jasin berkenaan dengan Gaddafi dan Mesir pun diceritakan.
Gadaffi ini dia menggulingkan kerajaan yang terdahulu melalui satu army coup.
Tuan N. Gobalakrishnan - Padang Serai
Kemudian dia naik menjadi pemerintah unggul di negara itu, dia melakukan kezaliman kepada rakyat dan apabila rakyat bangkit dia menggunakan tentera untuk menzalimi kembali rakyat itu, membunuh ribu-ribu. Jadi saya hendak tanya dengan Yang Berhormat Jasin kalau ada seorang pemimpin macam Muammar Gaddafi ini, dia naik senang sekali sahaja sudah jadi 30 tahun menjadi pemerintah. Jikalau ada pemimpin, siang malan ingat mahu jadi Perdana Menteri, hari-hari pergi melalak seluruh negara mahu jadi Perdana Menteri. Jikalau orang macam ini jadi Perdana Menteri, Gaddafi yang naik senang pun tidak mahu turun sanggup bunuh rakyat dia, kalau pemimpin yang mahu menjadi Perdana Menteri siang-malam, hari-hari, minggu-minggu, tahun-tahun sudah puluh tahun pun cakap Putrajaya sahaja, apa dia akan buat?
Datuk Bung Moktar bin Radin - Kinabatangan
Itu saya setuju... [Ketawa]
Datuk Wira Haji Ahmad Hamzah - Jasin
Terima kasih sahabat saya Yang Berhormat Padang Serai. Saya mengalu-alukan Yang Berhormat Padang Serai sekarang telah beralih tempat. Ini satu keputusan yang paling bijak setelah Yang Berhormat Padang Serai insaf, setelah Yang Berhormat Padang Serai sedar bahawa selama ini Yang Berhormat Padang Serai telah membuat satu kesilapan. Akan tetapi sekarang saya tahu Yang Berhormat Padang Serai sekarang adalah bak kata sudah bertaubat... [Ketawa] Akan tetapi apapun dalam Islam kita selalu percaya bahawa apa juga keadaan yang berlaku dengan kehendak Allah. Allah tidak akan mengizinkan kalau niat kita tidak baik, Dia tidak izinkan tetapi kita dapat lihat pemimpin kita pada ketika ini orang yang beriman, orang yang betul-betul sayangkan kepada rakyatnya.
Kita lihat daripada pencapaian, saya sebut satu-persatu ini supaya kita sama-sama mensyukuri nikmat, supaya kita sama-sama memberikan sokongan kepada kepimpinan pada ketika ini. Saya teruskan kepada ucapan saya, Tuan Yang di-Pertua.
Dato’ Johari Abdul - Sungai Petani
[Bangun]
Tuan Chua Tian Chang @ Tian Chua - Batu
Boleh sedikit? Sedikit sahaja. Saya sebenarnya bukan hendak mempertikaikan apa-apa, hanya saya ingin tahu sama ada kerana kita syukur dan kita tidak tukar. Saya juga anggap jangan kita sebab Mubarak sudah jatuh kita memburuk-burukkan pemimpin negara lain dan termasuk Libya. Bagi saya kita ambil - Mesir mungkin kita boleh kata ekonomi dia teruk tetapi kita harus faham Mesir dalam keadaan perang dengan Israel dan di Libya Gaddafi jasanya semasa tahun 60-an ekonomi dia meningkat 600 peratus GDP. Manakala tahun 70-an sehingga - ini data yang kita dapat, sehingga 2000 pertumbuhan ekonomi 10 peratus tetapi apa yang menyebabkan rakyatnya bangkit untuk lawan dan ingin gulingkan pemimpinnya sungguhpun pemimpinnya berjasa besar. Itu yang kita harus ambil iktibar yang harus kita ingat bukan kerana jasa tetapi isu rakyat ingin perubahan dan juga sesebuah parti yang lama memerintah harus ingatkan perkara-perkara yang telah diabaikan. Terima kasih.
Dato' Johari Abdul - Sungai Petani
Yang Berhormat Jasin tambah sedikit boleh ya? Terima kasih Yang Berhormat Jasin. Yang Berhormat Jasin berulang-ulang kali mengatakan bahawa kita patut bersyukur-berterima kasih, bersyukur-berterima kasih kepada pemimpin-pemimpin yang lalu. Saya secara peribadi berterima kasih, saya rasa ramai teman-teman juga berterima kasih kepada pemimpin-pemimpin terdahulu. Khususnya pemimpin-pemimpin yang telah pun berjuang untuk mendapatkan kemerdekaan. Akan tetapi lihat Yang Berhormat Jasin, rakyat menyokong pemimpin-pemimpin yang telus, rakyat menyokong semua pemimpin yang tidak rasuah, rakyat menyokong semua pemimpin yang kerja untuk rakyat dan betul-betul berkhidmat untuk rakyat. Apa yang cuma rakyat tolak apabila pemimpin itu didapati menyeleweng. Oleh sebab itu dalam 2008 khususnya pilihan raya apabila banyak - takkanlah rakyat ini bodoh, pembangkang bercerita tiap-tiap malam rakyat percaya? Rakyat pun tidak bodoh, rakyat baca internet, rakyat baca akbar-akbar, rakyat mendapat maklumat, apabila rakyat dapat bezakan pemimpin dahulu dengan sekarang itu yang menyebabkan rakyat tolak.
Ada pemimpin yang baru naik setahun jagung jadi Ketua Pemuda Bahagian, Ketua Bahagian dapat 400-500 ekar tanah, yang naik baru satu penggal tidak sampai setahun pun boleh bayar tanah cash. Ini yang rakyat tengok ada benda yang tidak betul. Jadi rakyat menilai bukan kerana kita tidak bersyukur, berterima kasih kepada pemimpin yang lalu tetapi mereka melihat pemimpin sekarang ini something is wrong.
Oleh sebab itulah yang rakyat tolak sebab itu saya juga melihat bahawa kemungkaran demi kemungkaran inilah yang menyebabkan - kita tahu pembongkaran demi pembongkaran inilah yang menyebabkan rakyat jelik dan kita tidak boleh tutup bangkai, bau busuk ini dengan nyiru sahaja. Rakyat bukan bodoh sebab kita saban tahun menghantar rakyat ke universiti apabila mereka keluar dari universiti kita mengharapkan mereka menjadi rakyat yang berfikir. Oleh kerana mereka berfikirlah mereka membuat keputusan bahawa ada benda yang tidak kena terhadap pemerintah. Setuju atau tidak Yang Berhormat Yasin dengan pandangan saya? Terima kasih.
Ir. Haji Hamim bin Samuri - Ledang
Yang Berhormat Jasin, last. Yang Berhormat Jasin, pada pandangan saya part pertama yang disebut oleh Yang Berhormat Batu itu betul iaitu situasi di Mesir dan di Libya itu berbeza dengan situasi dalam negara Malaysia, ia berbeza. Memang benar Gaddafi dan Mubarak ada jasa, kita tidak nafikan tetapi Mesir dan Libya juga dulu berdepan dengan masalah peperangan seperti yang disebut oleh Yang Berhormat Batu, itu betul.
Rentetan daripada itu maka banyak masalah yang tidak dapat diselesaikan sehinggalah sekarang seperti yang disebut oleh Yang Berhormat Jasin tadi tentang pengangguran, inflasi, kadar kemiskinan dan sebagainya. Itu yang berlaku di sana, Yang Berhormat Jasin ya? Itu yang berlaku di sana. Apa yang cuma saya hendak tanya kepada Yang Berhormat Jasin di sana itu saya yakin saya penuh yakin ada elemen hasutan saya yakin berlaku di sana. Ada elemen hasutan. Adakah Yang Berhormat Jasin setuju bahawa elemen hasutan itu juga berlaku dalam negara kita. Mereka di satu pihak sedang mencipta elemen hasutan kerana mereka nampak bahawa elemen hasutan itu telah berjaya berlaku di sana dan mereka ingin bawa elemen hasutan itu berlaku dalam negara Malaysia seperti yang pernah, bukan pernahlah seperti yang selalu disebut oleh Yang Berhormat Kulim Bandar Baharu. Pembohongan, putar-belit, fitnah. Pada saya mudah sahaja. Dalam blog sekarang...
Dato' Johari Abdul - Sungai Petani
Itu dia yang bohong itu.
Ir. Haji Hamim bin Samuri - Ledang
Ramai yang bantai Hafilda. Saya hendak cabar kepada mana-mana pihak saman Umi Hafilda, saman Yang Berhormat Kulim Bandar Baharu, saman Yang Berhormat Wangsa Maju dahulu, Yang Berhormat Padang Serai kemudian. Sekarang semua sudah mula terbuka. Ini semua adalah elemen-elemen hasutan, Tuan Yang di-Pertua. Mereka hendak jadikan perkara yang sama berlaku dalam negara Malaysia seperti yang berlaku di sana di Mesir, Libya dan negara-negara lain. Jadi ini yang sebenarnya berlaku.
Oleh sebab itu saya bersetuju dengan pandangan Yang Berhormat Jasin tadi kita perlu bersyukur, kita perlu balik kepada asas iaitu kita bersyukur dengan apa yang kita ada.
Jangan jadikan segala nikmat yang kita ada ini sebagai satu kerugian kepada kita hanya semata-mata kerana rakyat kita dihasut. Saya setuju dengan pandangan Yang Berhormat Jasin. Yang Berhormat Jasin tadi hendak mengajak rakyat Malaysia supaya jangan dengar hasutan sebab itu kita kena bersyukur. Apa pandangan Yang Berhormat Jasin?
Tuan Mohd. Yusmadi Mohd. Yusoff - Balik Pulau
Yang Berhormat Jasin, sedikit sahaja. Sedikit sahaja sebab ini ada kaitan dengan soalan itu sebab apa yang berlaku di Timur Tengah seingat saya bermula dengan apabila di Tunisia itu seorang yang membakar diri, orang muda ada masalah pergi berniaga sayur. Selepas itu tidak dapat berniaga sebab tekanan hidup. Dipendekkan cerita membakar diri...
Seorang Ahli
[Bercakap tanpa menggunakan pembesar suara]
Tuan Mohd. Yusmadi Mohd. Yusoff - Balik Pulau
Graduan. Soalan saya kepada Yang Berhormat Jasin mungkin boleh kongsi di sini sebenarnya apabila mendengar penjelasan Yang Berhormat Jasin tadi itu nada dia sama macam Ben Ali. Ben Ali ketika itu kata tidak ada apa-apa, Gaddafi mengatakan people love me tiba-tiba berlaku juga. Jadi persoalan saya Yang Berhormat Jasin, apabila kita berada di tahap menafikan, instead of denial dengan izin kecerdikan, kepandaian rakyat saya rasa yang sebenarnya yang sehingga merujuk kepada isu-isu apa yang dipanggil dengan izin, an insult – satu penghinaan terhadap kewarasan pemikiran mereka kerana kita masih lagi menganggap we know best, kita lebih pandai daripada rakyat di bawah. Jadi saya rasa mungkin Yang Berhormat Jasin boleh jelaskan sebab saya tidak nampak elemen hasutan di Tunisia itu, kerana dia tekanan hidup, dia bakar kerana itulah catalyst kepada kemarahan rakyat yang lain yang menunggu kepada satu insiden yang bagi saya bukan hasutan. Mohon penjelasan.
Dato’ Ibrahim Ali - Pasir Mas
[Bangun]
Dato’ Lilah bin Yasin - Jempol
Terima kasih Yang Berhormat Jasin. Saya memuji Yang Berhormat Jasin memberikan perbandingan antara Timur Tengah dengan Malaysia. Maknanya Yang Berhormat Jasin telah pun mengutarakan pandangannya terhadap kejayaan dasar 1Malaysia di bawah kepimpinan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dengan mendahulukan rakyat, mendengar suara rakyat, membuat kajian secara terperinci dan yang lebih penting sekali ialah kebijaksanaan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri kita melakarkan satu dasar baru, perubahan, transformasi untuk membela rakyat dan dasar ini telah pun diterima oleh rakyat.
Oleh yang demikian, dengan kejayaan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri kita melakar dasar yang baru, perubahan yang diterima oleh rakyat, menimbulkan perbezaan yang cukup jelas. Bukan sahaja soal ekonomi, peluang pekerjaan, soal inflasi tetapi lebih jauh daripada itu ialah nadi, denyut nadi rakyat dapat didengar oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri kemudian dibuatkan satu perubahan dasar baru kerajaan melalui rancangan 1Malaysia nya, transformasi yang berkesan. Inilah yang menyebabkan Malaysia, Barisan Nasional, kerajaan dapat diterima oleh rakyat. Apa pandangan Yang Berhormat Jasin?
Datuk Wira Haji Ahmad Hamzah - Jasin
[Bangun]
Dato’ Ibrahim Ali - Pasir Mas
Yang Berhormat Jasin, boleh saya? Yang Berhormat, saya hendak bertanya pandangan Yang Berhormat. Apabila berlaku revolusi di Mesir, selalunya revolusi ini berlaku apabila rakyat ditindas, kemiskinan, harga barang naik, penyelewengan, rasuah dan seumpamanya dan ditambah pula pemimpin itu lama memegang jawatan. Apabila berlaku revolusi di Mesir, kita semua tahu bahawa antara penganjur yang paling kuat ialah gerakan Ikhwanul Muslimin, yang gerakan ini tidak disenangi oleh negara-negara Barat termasuk Israel. So, apabila pimpinan Mubarak jatuh, maka mereka bimbang bahawa dasar Mesir tidak akan seperti dahulu lagi, daripada segi hubungan dengan Israel dan Amerika Syarikat. Di sebelah Mesir, wujudnya negara Libya yang terkenal, pimpinan Muammar Gaddafi dengan sikap tegasnya dalam hal-hal yang berkaitan dengan sokongannya terhadap perjuangan orang-orang Islam.
Saya juga tidak senang hati tentang cara Muammar Gaddafi bertindak melayani rakyatnya apabila rakyatnya bangkit sehingga berlaku pembunuhan begitu dahsyat. Akan tetapi, saya hendak bertanya Yang Berhormat, apakah mungkin kerana di Libya tidak timbul masalah kemiskinan, barang naik, keadaannya semua elok. Tidak mungkinkah dengan apa yang berlaku di Libya ini adalah permainan CIA, negara Amerika Syarikat, kuasa-kuasa besar untuk neutralize. Ini disebabkan mereka bimbang kalau Mesir ini nanti digantikan dengan pimpinan yang agak keras, tidak seperti Mubarak, dengan adanya Muammar Gaddafi di Libya, maka tentu mereka merasa cemas lalu Gadaffi mesti dijatuhkan. Ini perancangan politik antarabangsa kuasa-kuasa besar. Apakah ini mungkin berlaku. Ini persepsi yang pada pandangan saya mungkin tidak tepat tetapi itulah andaian saya.
Sekian, terima kasih.
Dato’ Shamsul Anuar Nasarah - Lenggong
Yang Berhormat Jasin. Terima kasih Yang Berhormat Jasin. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Saya bersetuju juga dengan pandangan Yang Berhormat Pasir Mas tadi, ada tangan lain yang bertindak untuk menghuru-harakan negara yang disebutkan tadi. Cuma saya hendak komen pandangan sahabat saya daripada Balik Pulau tadi, cakap sedap. Akan tetapi saya tidak bersetuju kalau kita kata bahawa kerajaan hari ini menganggap bahawa rakyat tidak cerdik, tidak mahu dengar, anggap bahawa kerajaan yang pandai, sebenarnya ini tidak betul.
Pendekatan yang dibuat oleh kerajaan di bawah pimpinan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri hari ini berkali-kali beliau menyebut bahawa zaman yang mengatakan kerajaan bijak 100 peratus sudah berlalu. Maknanya, beliau menyedari keadaan berkenaan dan beliau telah pun mengambil pelbagai tindakan.
Contoh, kerajaan mengiktiraf golongan cerdik pandai, bukan hanya dalam negara ini malah golongan cerdik pandai rakyat yang berada di luar negara dengan menubuhkan Talent Corporations dan sebagainya, memberikan pelbagai kemudahan untuk memberikan pengiktirafan pada kebijaksanaan rakyat yang telah pun dibina oleh Kerajaan Barisan Nasional sejak dahulu lagi. Oleh sebab itu, apa yang disebutkan tadi ia tidak tepat sama sekali. Disebabkan itu juga kalau kita hendak membandingkan dengan apa yang berlaku dalam negara kita dengan negara di Mesir ataupun di Libya, ia jauh berbeza sama sekali.
Apa yang berlaku pada tahun 2008, itu sebenarnya adalah sebahagian besar berpunca daripada pembohongan, tipu helah, fitnah dan sebagainya yang dibawa oleh rakan-rakan daripada Pakatan Rakyat sehingga rakyat terpengaruh. Itu juga menjadi punca sebenarnya.
Bukan kerana kelemahan kerajaan dan sebagainya. Akan tetapi banyak pada pembohongan yang dibuat termasuklah oleh Yang Berhormat Balik Pulau sendiri...
[Ketawa] Terima kasih.
Tuan Khalid Abd. Samad - Shah Alam
[Bangun]
Datuk Wira Haji Ahmad Hamzah - Jasin
Okey Yang Berhormat Lenggong.
Terima kasih...
Tuan Khalid Abd. Samad - Shah Alam
Sebentar. Sedikit sahaja. Terima kasih Yang Berhormat Jasin. Saya amat berminatlah tentang soal Timur Tengah ini. Satu, apabila kita berkata tentang apa yang berlaku di Tunisia, apa yang berlaku di Mesir, kita jangan lupa antara tuntutan rakyat ialah supaya diwujudkan media yang bebas. Bukan lagi media yang propaganda seperti mana yang ada di Libya, Mesir dan juga di negara Malaysia. Dua, antara tuntutannya ialah supaya ditamatkan undang-undang darurat dan amalan tangkap tanpa bicara yang pernah dilaksanakan di Mesir, di Libya dan juga masih ada di Malaysia.
Tuan Khalid Abd. Samad - Shah Alam
Di sini tadi Yang Berhormat Lenggong mengatakan bahawa Pilihan Raya 2008, Pakatan Rakyat yang menipu. Pada masa yang sama ada yang mengatakan “Oh! Barisan Nasional sudah sedar kelemahan-kelemahan”. Lalu di sini, apakah yang diperkatakan oleh Yang Berhormat Lenggong seperti tidak mahu mengiktiraf kelemahan-kelemahan yang telah wujud di dalam pentadbiran Barisan Nasional dan inilah hakikatnya. Mereka masih tidak serik, masih tidak menyesal, pembohongan dan penipuan tidak mampu dilakukan oleh Pakatan Rakyat kerana media dalam tangan Barisan Nasional. Kes tuduhan liwat yang dilakukan terhadap Ketua Pembangkang. Saya rasa semua faham. Mustahil!...
[Ketawa][Disampuk].
Timbalan Yang di-Pertua - Datuk Ronald Kiandee
Yang Berhormat.
Tuan Khalid Abd. Samad - Shah Alam
Saiful Bukhari [Ketawa]...
Timbalan Yang di-Pertua - Datuk Ronald Kiandee
Tidak perlu bincang itu dalam Dewan.
Tuan Khalid Abd. Samad - Shah Alam
Tidak mahu pasal isu itu, tidak mahu.
Akan tetapi tidak mungkin Saiful Bukhari pergi jumpa dengan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri untuk hendak minta biasiswa... [Ketawa] Itu satu pembohongan! Akan tetapi inilah apa yang dijelaskan di dalam akhbar. Inilah apa yang dijelaskan di dalam media dan kita tahu bahawa media ini berbohong. Itulah sebabnya mengapa media ini terus dikuasai oleh Barisan Nasional...
Datuk Wira Haji Ahmad Hamzah - Jasin
[Bangun]
Timbalan Yang di-Pertua - Datuk Ronald Kiandee
Yang Berhormat.
Tuan Khalid Abd. Samad - Shah Alam
Kita tidak mahu negara Malaysia jadi seperti Mesir, jadi seperti Tunisia sehingga rakyat terpaksa turun ke jalan raya.
Timbalan Yang di-Pertua - Datuk Ronald Kiandee
Cukup Yang Berhormat.
Datuk Wira Haji Ahmad Hamzah - Jasin
Okey.
Tuan Khalid Abd. Samad - Shah Alam
Sudah hendak tutup dah?
Timbalan Yang di-Pertua - Datuk Ronald Kiandee
Yang Berhormat Jasin.
Tuan Khalid Abd. Samad - Shah Alam
Kesimpulannya Tuan Yang di-Pertua...
Datuk Wira Haji Ahmad Hamzah - Jasin
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Tuan Khalid Abd. Samad - Shah Alam
Kesimpulannya. Last two sentences.
Dua ayat. Untuk hendak mengelakkan itu, maka segerakan perubahan-perubahan, wujudkan media yang bebas, mansuhkan ISA, berikan hak kepada rakyat untuk bersuara dan tentukan - ini tidak habis lagi satu ayat. Ayatnya panjang dan tentukan bahawa pilihan raya umum yang akan datang merupakan satu pilihan raya yang adil, bebas dan saksama.
Timbalan Yang di-Pertua - Datuk Ronald Kiandee
Ya, Yang Berhormat. Cukup Yang Berhormat.
Datuk Wira Haji Ahmad Hamzah - Jasin
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Timbalan Yang di-Pertua - Datuk Ronald Kiandee
Yang Berhormat Jasin, sebentar Yang Berhormat.
Datuk Wira Haji Ahmad Hamzah - Jasin
Ya.
Timbalan Yang di-Pertua - Datuk Ronald Kiandee
Yang Berhormat sudah mengambil masa hampir 60 minit... [Ketawa] Dan trend yang sekarang ini saya lihat pencelahan lebih banyak masa digunakan daripada ucapan Yang Berhormat. Sila, teruskan Yang Berhormat.
Datuk Wira Haji Ahmad Hamzah - Jasin
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Ramai kawan saya yang membantu daripada Yang Berhormat Ledang, Yang Berhormat Batu, Yang Berhormat Sungai Petani, Yang Berhormat Balik Pulau, Yang Berhormat Jempol, Yang Berhormat Pasir Mas, Yang Berhormat Shah Alam dan juga Yang Berhormat Lenggong. Apa pun yang kita sebutkan tadi tetapi telah terbukti bahawa rakyat semakin yakin. Daripada lima buah pilihan raya... [Tepuk] Dari Merlimau, Tenang, Kerdau, Batu Sapi, Galas, Bagan Pinang, enam. Saya yakin, kalau kita ada melakukan apa-apa kesalahan, kalau kerajaan kita tidak baik, bagaimana kita boleh menang.
Ini saya kata, apa juga - saya hendak mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada sahabat saya daripada Yang Berhormat Jempol yang telah menjawab saya secara keseluruhannya. Sahabat saya daripada Yang Berhormat Pasir Mas yang cukup banyak pengalaman, yang memberikan satu gambaran yang cukup jelas. Begitu juga Yang Berhormat Lenggong dan juga Yang Berhormat Ledang. Orang yang bersyukur pada nikmat Allah SWT.
Datuk Bung Moktar bin Radin - Kinabatangan
[Bangun]
Datuk Wira Haji Ahmad Hamzah - Jasin
Silakan.
Datuk Bung Moktar bin Radin - Kinabatangan
Terima kasih Yang Berhormat.
Saya terpanggil sekali lagi melihat telatah rakan-rakan daripada pembangkang menegakkan benang yang basah. Mereka mengajak rakyat untuk membenci kerajaan tetapi jelas rakyat bukan membenci kerajaan, malah mereka pula menyokong langkah kerajaan dan membenci pembangkang.
Contohnya, pilihan raya sudah kalah, Yang Berhormat Shah Alam cakap pilihan raya tidak telus, tidak bebas. Kalau tidak telus, dia menang kah Pulau Pinang dan Kedah?
Cakap tidak serupa bikin. Ini keluar pula Buku Jingga memerintah 100 hari, apa yang dia hendak buat. Apa yang dia sudah buat dengan Selangor? Apa dia sudah buat dengan Pulau Pinang? Rakyat tidak boleh meniaga gerai pun. Pegawai-pegawai Ketua Menteri Pulau Pinang mengeluarkan kata-kata kesat, “balik India”. Apa itu? Patutlah Yang Berhormat Padang Serai keluar sebab dia marah. Hendak meniaga pun tidak boleh.
Tengoklah diri sendiri, cermin dahulu.
Jangan cakap Kerajaan Barisan Nasional. Tidak ada kerajaan yang sebegini baik mungkin di seluruh dunia ini. Selangor mula-mula kaya-raya jadi bankrap. Pulau Pinang pun musnah dengan satu kaum sahaja dijaga. Jadi apakah Yang Berhormat Jasin berpendapat bahawa pembangkang jangan bermimpi di siang hari?
Tuan Gwo Burne Loh - Kelana Jaya
Sila tanya di Kinabatangan ada berapa gas station.
Datuk Bung Moktar bin Radin - Kinabatangan
Ini hantu dari mana? Saya tidak nampak syaitan keluar dari mana itu. Saya tidak nampak itu syaitan. Apakah Yang Berhormat Jasin akan mengetengahkan bahawa rakyat Malaysia di negara ini tergolong daripada rakyat yang tahu bersyukur dan pilihan raya akan datang, insya-Allah pembangkang spesies ini akan terkeluar daripada Dewan ini.
Tuan Azan Ismail - Indera Mahkota
[Bangun]
Timbalan Yang di-Pertua - Datuk Ronald Kiandee
Hendak beri jalan Yang Berhormat Jasin? Ya, sila Yang Berhormat.
Tuan Azan Ismail - Indera Mahkota
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Saya sebenarnya banyak juga setuju dengan pandangan kawan-kawan Ahli Parlimen utarakan tadi. Akan tetapi antara yang besar yang saya dapat petik di sini ialah peringatan yang sama yang dikeluarkan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong semalam menyatakan supaya kita jangan lagi membangkitkan soal-soal yang menanam kebencian dan sebagainya.
Tuan Azan Ismail - Indera Mahkota
Dalam premis ini, saya hendak tanya pandangan Yang Berhormat Jasin. Oleh sebab dalam hal yang begitu penting dibawa. Saya sudah pasti ucapan itu sebahagian ucapan yang didorong kehendak inspirasi kerajaan dibawakan ke dalam Dewan ini. Akan tetapi apa pandangan Yang Berhormat Jasin, yang membangkitkan kebencian ini keluar daripada perkataan yang begitu asas mengatakan kita hendak mempertahankan Putrajaya sehingga rela tercabut tulang dengan badan, berkecai tulang daripada badan dan ada yang mengatakan we will defend our Prime Minister to our death? Ini perkataan yang sangat- sangat berbahaya kerana ini membangkitkan seolah-olah asas penanaman kebencian itu harus digembar-gemburkan.
Saya rasa Yang Berhormat Jasin pun tidak setuju dengan perkataan-perkataan yang sangat ekstrem dan kasar. Ini bukan budaya kita. Jika benar kalau kita hendak mempertahankan kuasa dan kedudukan politik, saya rasa tidak perlu kita keluarkan atau hamburkan perkataan yang begitu mengerikan ini. Saya minta pandangan Yang Berhormat Jasin.
Datuk Wira Haji Ahmad Hamzah - Jasin
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua dan sahabat saya dari Kinabatangan dan juga Indera Mahkota. Saya hanya dua point baru masuk ini tetapi ramai betul yang berminat. Jikalau boleh Tuan Yang di-Pertua, saya hendak teruskan ucapan sayalah. Akan tetapi, saya hendak maklumkan bahawa pertamanya, ucapan saya bukan didorong oleh sesiapa. Ia datang daripada hati saya sebagai mensyukuri nikmat Allah. Saya mahu melahirkan kepada kawan-kawan dan janganlah hendaknya dianggap bahawa saya didorong atau disuruh oleh sesiapa untuk menyampaikan ucapan saya dengan perkataan yang baik-baik kepada kerajaan.
Saya tertarik kepada sahabat saya dari Kinabatangan yang tadi ada sebut tentang Buku Jingga. Perkara ini sebenarnya telah banyak diperkatakan semasa pilihan raya kecil di Merlimau. Saya tidak tahu apa bendanya Buku Jingga ini, Yang Berhormat Kinabatangan. Saya tidak tengok dan tidak baca pun, dan dia mengatakan kita meniru.
Saya hendak maklumkan kepada Dewan yang mulia ini, negeri Melaka negeri maju. Negeri pertama yang diisytiharkan negeri yang maju oleh OECD. Kita tidak pakai Buku Jingga pun.
Negeri Melaka ditakrifkan sebagai nombor satu dalam negara sebagai negeri yang cukup bersih, negeri yang punyai landskap yang terbaik, bandar raya mampan. Tidak pakai pun Buku Jingga. Saya pun tidak tahu apa itu Buku Jingga itu pun saya tidak tahu.
Saya teruskan ucapan saya. Sesungguhnya Tuan Yang di-Pertua, kejayaan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri ini adalah suatu yang mengagumkan. Terbukti “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan” telah menjadi kenyataan, bukan slogan semata- mata. Saya kira ia satu pencapaian yang hebat yang sukar untuk ditandingi oleh mana- mana negara lain. Apa yang lebih penting dan menarik kepada rakyat ialah, apakah kemakmuran yang ada untuk mereka di masa depan, sekurang-kurangnya untuk 10 tahun akan datang. Soalan inilah yang cuba ditangani oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri kita. Jawapannya ialah melonjakkan negara ke tahap berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020 iaitu GNI per kapita sebanyak USD15,000 dan dari tahap pendapatan sederhana pada masa ini iaitu sebanyak USD7,000. itulah sebenarnya KPI Yang Amat Berhormat Perdana Menteri.
Untuk mencapai KPI tersebut, beliau telah mengetengahkan gagasan idea beliau yang merangkumi empat tunggak iaitu:
(i) 1Malaysia yang dipandu oleh lapan nilai utama yang perlu dimiliki oleh semua rakyat Malaysia;
(ii) Program Transformasi Kerajaan yang diisi oleh enam NKRA;
(iii) Program Transformasi Ekonomi yang dipandu oleh Model Baru Ekonomi dan dipacu oleh 12 NKEA; dan
(iv) RMKe-10 yang mengintegrasikan pelaksanaan semua idea tersebut.
Maka, marilah kita bersama-sama terus melangkah dan berganding bahu dalam membantu Yang Amat Berhormat Perdana Menteri merealisasikan gagasan idea beliau itu bagi faedah kita dan anak cucu kita kelak.
Datuk Wira Haji Ahmad Hamzah - Jasin
Dalam pada itu, saya ingin meminta pihak kerajaan supaya terus memberikan penjelasan kepada rakyat tentang apakah yang dimaksudkan pada setiap daripada empat tunggak tersebut agar ia tidak diselewengkan oleh pihak pembangkang dan pihak yang tidak bertanggungjawab.
Sebagai contoh, 1Malaysia bukannya 1Israel. 1Malaysia sama sekali tidak sama dengan “Malaysian Malaysia” yang dijeritkan oleh DAP. 1Malaysia bersandarkan Perlembagaan Persekutuan dan juga Rukun Negara. Begitu juga Program Transformasi Kerajaan, Program Transformasi Ekonomi, Model Baru Ekonomi, NKEA dan juga RMKe-10.
Saya perhatikan masih ada lagi pegawai kerajaan yang tidak begitu faham dengan idea- idea ini. Mereka masih lagi dibelenggu dengan idea ataupun cara dan kaedah lama.
Pegawai-pegawai di peringkat negeri pun. Serupa juga di peringkat daerah. Jadi saya berharap semoga satu penjelasan yang cukup jelas supaya semua peringkat masyarakat dapat benar-benar memahami.
Saya terus kepada perkara yang lain iaitu untuk memacu sektor pertanian. Bagi merancang masa hadapan yang lebih mampan kemakmurannya, saya perhatikan kita banyak menumpukan kepada sektor perkilangan dan perkhidmatan. Tuan Yang di-Pertua, kita ada dua minit sahaja lagi.
Timbalan Yang di-Pertua - Datuk Ronald Kiandee
Ya.
Datuk Wira Haji Ahmad Hamzah - Jasin
Hendak rehat ini.
Timbalan Yang di-Pertua - Datuk Ronald Kiandee
Belum sampai lagi Yang Berhormat.
Datuk Wira Haji Ahmad Hamzah - Jasin
Saya ada berapa minit?
Timbalan Yang di-Pertua - Datuk Ronald Kiandee
Kita akan rehat 30 saat lagi.
Yang Berhormat ada 20 minit selepas rehat.
Datuk Wira Haji Ahmad Hamzah - Jasin
Oh! Ada lagi? Kalau ada lagi tidak mengapa. Dalam merancang masa hadapan yang lebih mampan kemakmurannya, saya perhatikan kita banyak menumpukan kepada sektor perkilangan dan perkhidmatan. Namun, kita perlu juga memberi perhatian kepada sektor pertanian khususnya dalam usaha menangani masalah keselamatan makanan, food security dengan izin. Saya memberikan peringatan khas ini kerana kekurangan makanan merupakan salah satu cabaran utama dunia.
Timbalan Yang di-Pertua - Datuk Ronald Kiandee
Yang Berhormat sambung petang nanti.
Datuk Wira Haji Ahmad Hamzah - Jasin
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Timbalan Yang di-Pertua - Datuk Ronald Kiandee
Ahli-ahli Yang Berhormat, Mesyuarat ini ditangguhkan sehingga jam 2.30 petang nanti.
**Mesyuarat ditempohkan pada pukul 1.00 petang.
Mesyuarat disambung semula pada pukul 2.30 ptg.** [Tuan Yang di-Pertua mempengerusikan Mesyuarat]
Tuan Yang di-Pertua
Saya difahamkan Yang Berhormat Jasin akan meneruskan perbahasan dan saya juga difahamkan ada lagi 20 minit, ya. Jadi, sebentar tadi telah disebut oleh Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua bahawa masa untuk Yang Berhormat Jasin satu jam setengah dan selepas itu Yang Berhormat Kuala Selangor. Yang Berhormat Kuala Selangor diberi juga masa seperti begitu. Akan tetapi jikalau masa itu satu jam dan tidak sampai satu jam setengah pun saya berbahagia juga. Selepas itu, belum ada yang diberi lagi daripada pihak pembangkang. Siapa jurucakap bagi pihak pembangkang dan kita juga beri masa yang serupa satu jam setengah. Selepas itu yang lain start setengah jam lima belas minit boleh, ya? Yang Berhormat Bukit Mertajam kalau mahu bercakap 10 minit saya lihat boleh, ya. Sila.
Puan Chong Eng - Bukit Mertajam
Tuan Yang di-Pertua.
Tuan Yang di-Pertua
Ya.
Puan Chong Eng - Bukit Mertajam
Kalau Yang Berhormat Bukit Mertajam yang cakap bolehkah Yang Berhormat Bukit Mertajam sebagai mewakili wanita dan juga hari ini International Woman’s Day? Jadi, berilah satu setengah jam. Ini pohon, ya... [Dewan riuh]
Tuan Yang di-Pertua
Saya okey, saya memang penyokong wanita tetapi yang lain terpaksa perlu runding. Sila Yang Berhormat Jasin.
Datuk Wira Ahmad Hamzah - Jasin
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Saya sambung semula.
Tuan Yang di-Pertua
Sila.
Datuk Wira Ahmad Hamzah - Jasin
Sebentar tadi, saya sedang putus tentang keselamatan makanan atau food security dengan izin. Saya memberikan perhatian khas ini kerana kekurangan makanan adalah merupakan salah satu cabaran utama dunia pada masa kini dan masa depan. Kadar pertumbuhan penduduk dunia yang lebih tinggi daripada kadar pertambahan bekalan makanan adalah merupakan faktor asas yang cukup membimbangkan. Keadaan menjadi lebih buruk apabila bekalan makanan tersebut tergugat akibat bencana alam semula jadi seperti kemarau panjang di Argentina, banjir besar di Pakistan dan Queensland, letupan gunung berapi di mana-mana dan yang teruk sekali cuaca sejuk di Eropah dan juga di Amerika.
Jadi, bekalan makanan atau pun komoditi yang tidak mencukupi dan sering terganggu pula telah mendorong kenaikan harga yang tinggi di pasaran dunia lalu merumitkan lagi keadaan. Jadi, ada orang yang tidak faham tentang keadaan senario ini.
Maka, dijadikan sebagai satu isu kononnya kerajaan tidak prihatin. Jadi, Tuan Yang di- Pertua saya mempunyai masa yang cukup terhad. Jadi, saya minta kalau boleh saya diberi peluang untuk bercakap. Seterusnya... sahabat saya ini.
Datuk Haji Mohamad bin Haji Aziz - Sri Gading
Tuan Yang di-Pertua.
Tuan Yang di-Pertua
Saya.
Datuk Haji Mohamad bin Haji Aziz - Sri Gading
Tan Sri Yang di-Pertua.
Tuan Yang di-Pertua
Saya juga.
Datuk Haji Mohamad bin Haji Aziz - Sri Gading
Maafkan saya Tuan Yang di- Pertua.
Tuan Yang di-Pertua
Sila.
Datuk Haji Mohamad bin Haji Aziz - Sri Gading
Tuan Yang di-Pertua. Yang Berhormat Jasin ini sahabat saya. Saya mahu ucapkan tahniah. Dia Ketua Bahagian dan yang ADUN Merlimau itu menang ialah dalam tangan dia Tuan Yang di-Pertua. [Ketawa] Hebatnya. Keselamatan makanan macam saya tidak percaya Tuan Yang di-Pertua. Negara kita tidak sepatutnya Yang Berhormat Jasin boleh agaknya kekurangan makanan. Tanah kita subur Tuan Yang di-Pertua termasuk di Sabah. Tanah kita subur dan luas. Makanan asal asli kita ini beras atau nasi dan tidak sepatutnya. Apakah sebabnya Yang Berhormat Jasin ya kita masih lagi bercerita tahun demi tahun tentang keselamatan makanan dan kekurangan makanan. Apakah sebabnya dan apakah jawapan yang boleh menyelesaikan semua masalah ini? Terima kasih Tuan Yang di-Pertua dan Yang Berhormat Jasin.
Datuk Wira Ahmad Hamzah - Jasin
Terima kasih Yang Berhormat Sri Gading.
Saya sebenarnya cukup menghargai dan menghormati kerana beliau bukan sahaja seorang pemimpin yang cukup sayangkan kepada rakyat bahkan telah terbukti dapat membawa Sri Gading ke satu era yang cukup membanggakan kepada ketika ini.
Saya menyebut perkara ini kerana kita sayangkan generasi anak bangsa kita pada masa akan datang. Justeru, saya berharap semoga kerajaan mempunyai satu strategi dalam usaha bagi memastikan isu keselamatan makanan dapat diatasi dengan berkesan.
Datuk Wira Ahmad Hamzah - Jasin
Ini khususnya beras yang merupakan hak asasi rakyat Malaysia seperti yang disebut oleh Yang Berhormat Sri Gading tadi. Kita membuat perancangan tetapi bila? Kita tahu kita membuat perancangan untuk masa 10 tahun menjadi sebuah negara maju tetapi kita perlulah memberikan penekanan khas tentang food security ini.
Selepas itu, saya menghormati masa. Jadi, saya ada beberapa point. Kasihankan saya kerana saya kerja malam tadi tidak tidur. Jadi, bagi saya peluang untuk sampaikan apa juga yang telah saya buat ini.
Kerajaan perlu mengenal pasti akan program dan agensi bagi tujuan menambahbaikkan penyertaan bumiputera dalam perniagaan dan perindustrian. Di sini saya menyokong penubuhan teraju yang bakal meningkatkan taraf hidup dan prestasi golongan bumiputera. Pada masa yang sama, usaha menambahkan pemilikan ekuiti bumiputera dalam sektor korporat hendaklah diteruskan. Contohnya, melalui Tabung Haji, PNB, dan lain-lain. Saya mencadangkan agar lebih banyak lagi amanah saham dan bon yang mudah dimiliki oleh golongan bumiputera ini.
Dalam konteks ini, saya sangat bersetuju dengan pandangan yang telah dibuat oleh banyak cendekiawan Melayu yang menggesa agar MARA dijadikan agensi yang dipantau secara terus di bawah Yang Amat Berhormat Perdana Menteri supaya operasinya lebih berkesan dan dipantau dalam memperjuangkan agenda bangsa Melayu. Ia sejajar dengan Pelan Transformasi Kerajaan dan Pelan Transformasi Ekonomi yang memperuntukkan penglibatan aktif MARA dalam membantu melahirkan profesional Melayu dan golongan menengah bumiputera. Jikalau MARA ini di bawah Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, segala urusan dapat perhatian serius kerana Yang Amat Berhormat Perdana Menteri adalah orang yang paling arif mengenai kehendak dan perjuangan MARA itu.
Seterusnya, tentang membangunkan kawasan luar bandar. Ini kerana pada ketika ini kita berharap satu dana yang besar kita berikan perhatian kepada pembangunan luar bandar. Seterusnya, soalan saya apakah strategi seterusnya oleh kerajaan dalam usaha untuk memastikan supaya jurang ini dapat kita rapatkan lagi?
Datuk Wira Ahmad Hamzah - Jasin
Tuan Yang di-Pertua, proses membasmi kemiskinan dan merapatkan jurang pendapatan hendaklah berlaku dalam persekitaran kek ekonomi yang tumbuh dan berkembang, bagi memacu pertumbuhan dasar-dasar yang lebih progresif hendaklah dirangka agar kerelevanan dengan keperluan semasa dapat dipenuhi. Rancangan Malaysia Ke-10 yang melibatkan sebanyak RM230 bilion jelas berkonsepkan 1Malaysia dan diformulasikan berasaskan Program Transformasi Kerajaan dan Model Ekonomi Baru serta dijana selaras dengan enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA). Kombinasi antara strategi-strategi tersebut adalah ramuan terbaik dalam memacu negara ke arah ekonomi berpendapatan tinggi yang mapan dan inklusif selaras dengan transformasi yang hendak kita capai.
Tuan Yang di-Pertua, tadi ada Yang Berhormat menyebut tentang beberapa perkara terutamanya tentang daya saing. Sebelum itu, saya ingin sebutkan tentang langkah kerajaan bagi mengekalkan kestabilan ekonomi makro. Kerajaan telah mengambil beberapa langkah dalam memastikan supaya kestabilan ekonomi makro iaitu seperti berikut:
(i) dalam usaha untuk memastikan kadar pertumbuhan yang tinggi dicapai;
(ii) mewujudkan suasana kewangan yang menyokong perkembangan ekonomi di samping mengelakkan inflasi yang tinggi; dan
(iii) menggalakkan hubungan tabungan untuk menampung pelaburan.
Datuk Wira Ahmad Hamzah - Jasin
Sebenarnya ketiga-tiga ini telah pun digarap dan telah pun diusahakan oleh kerajaan. Kita mahu melihat supaya penyertaan semua pihak dan kerajaan kalau boleh melipatgandakan usaha bagi memastikan supaya usaha ini akan mencapai apa yang kita harapkan. Kestabilan ekonomi makro secara langsung telah membantu mengukuhkan kedudukan ekonomi negara.
Seterusnya saya pergi kepada peningkatan daya saing apa yang telah dibangkitkan oleh beberapa kawan daripada pihak pembangkang tadi. Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebenarnya telah menyentuh akan kedudukan daya saing negara dan pencapaian semasa negara. Jelas baginda amat prihatin akan isu ini. Sebenarnya fakta yang telah diberi tadi apabila saya semak semula cukup bertentangan sekali dan tidak ada hubung kait sekali dengan tentang angka peningkatan daya saing negara.
Jika bersandarkan daripada laporan WCY dengan izin, World Competitiveness Yearbook yang dikeluarkan oleh IMD yang cukup terkenal dalam mengukur daya saing negara sejak tahun 1999. Maka negara kita telah mencatat rekod yang cemerlang apabila buat pertama kali dalam sejarah Malaysia telah termasuk dalam senarai 10 negara yang paling kompetitif di dunia selepas krisis kewangan dan juga krisis ekonomi. Tahniah saya ucapkan kepada pihak kerajaan dan rakyat keseluruhannya. Jikalau mahu dibandingkan dengan negara-negara maju yang lain seperti Belanda dan Denmark, Austria mahupun Jerman, Malaysia hanyalah sebuah negara membangun tetapi telah membuktikan keupayaan.
Tuan Yang di-Pertua, kalau sebelum ini Amerika merupakan negara paling kompetitif di dunia tetapi tidak pada sekarang lagi. Amerika telah jatuh ke kedudukan ketiga di dunia. Kedudukan Malaysia di dunia dari segi tahap kompetitif semestinya membantu dalam menarik lebih banyak lagi FDI.
Tuan Yang di-Pertua, akhirnya saya pergi kepada Pelan Transformasi Kerajaan.
Datuk Bung Moktar bin Radin - Kinabatangan
Boleh minta penjelasan sedikit?
Datuk Wira Ahmad Hamzah - Jasin
Okey.
Datuk Bung Moktar bin Radin - Kinabatangan
Terima kasih. Tuan Yang di- Pertua, saya terpanggil kerana tertarik pelaburan FDI pelaburan luar. Sedar atau tidak Yang Berhormat bahawa memang sebenarnya banyak pelabur laur yang ingin melabur di negara kita malangnya terlalu banyak birokrasi di kalangan agensi-agensi yang telah diamanahkan oleh kerajaan untuk mengendalikan pengurusan FDI ini.
Saya telah terserempak dengan satu, dua syarikat yang berhasrat datang melabur tetapi mereka tergendala diakibatkan birokrasi yang masih ada. Bukan semua tetapi ada di kalangan mereka disuruh pergi ke satu bangunan ke bangunan yang lain dan sebagainya dan akhirnya mereka tidak bertahan lama dengan sikap sebegini dan mereka mengundur diri. Apa komen Yang Berhormat?
Datuk Wira Ahmad Hamzah - Jasin
Terima kasih sahabat saya yang telah memberikan satu pendekatan yang cukup jelas sekali. Akan tetapi saya mohon izin kalau boleh ucapan tersebut dimasukkan dalam teks saya kerana kesuntukan masa. Tuan Yang di-Pertua, saya teruskan sahaja dan saya ringkaskan ucapan saya iaitu tentang Program Transformasi Kerajaan.
Kerajaan Barisan Nasional cukup prihatin sekali dan telah melancarkan Pelan Hala Tuju Program Transformasi Kerajaan dengan tekad untuk terus melakukan perubahan melalui pelaksanaan enam Bidang Keberhasilan Utama Negara sehingga rakyat dapat benar-benar mengalami sendiri penambahbaikan dalam kehidupan mereka. Niat ikhlas kerajaan ialah untuk memberikan keutamaan kepada rakyat tanpa lari daripada prinsip kebertanggungjawaban dan bersedia dinilai oleh mereka ke arah memperbaiki sistem penyampaian perkhidmatan awam.
Datuk Wira Ahmad Hamzah - Jasin
Akhirnya Tuan Yang di-Pertua, apa yang kita dapat perhatikan pelancaran dan pelaksanaan Rancangan Malaysia Kesembilan dan Rancangan Malaysia Kesepuluh jelas telah menampakkan satu perancangan rapi kerajaan untuk melakukan program reformasi ekonomi negara dengan jumlah peruntukan sebanyak RM290 bilion kerajaan berusaha menyediakan pentas untuk transformasi ekonomi negara ke arah ekonomi berpendapatan tinggi. Ini bermakna dalam tempoh lima tahun Rancangan Malaysia Ke-10 purata pendapatan rakyat perlu ditingkatkan sekali ganda daripada kadar sedia ada iaitu sebanyak RM26,420 kepada RM38,850 setahun.
Tuan Yang di-Pertua, saya bersetuju dengan pandangan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri bahawa dalam mencapai hasrat itu pendekatan melahirkan masyarakat berprestasi dan bersatu padu dilakarkan melalui konsep 1Malaysia yang tidak mengetepikan asas-asas kekukuhan negara termasuk perlembagaan dan juga Rukun Negara. Bagi memacu pertumbuhan, dasar-dasar yang lebih progresif dirangka agar terus negara kita dengan perubahan semasa dapat kita sama-sama penuhi. Rancangan Malaysia Ke-10 yang melibatkan RM230 bilion jelas adalah berkonsepkan 1Malaysia dan diformulasikan berasaskan Program Transformasi Kerajaan dan Model Ekonomi Baru serta dijana dengan enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA). Kombinasi antara strategi-strategi tersebut adalah ramuan terbaik dalam memacu negara ke arah ekonomi berpendapatan tinggi yang mapan dan juga inklusif.
Saya melihat konsep 1Malaysia yang berteraskan keadilan sosial juga berasaskan tuntutan Islam, yang berhasrat untuk mengukuhkan perpaduan negara melangkaui toleransi dengan penerimaan pelbagai etnik dan agama. Pendekatan itu penting bagi mengekalkan kestabilan sosial dan politik agar Malaysia kekal relevan sebagai destinasi perniagaan dan pelaburan yang menarik. Jelas hasil transformasi ini telah menjadikan Malaysia lebih dihormati sebagai sebuah negara Islam yang progresif.
Tuan Yang di-Pertua, dengan ini saya sebagai pencadang dari barisan penyokong kerajaan mohon menyokong akan Usul Titah Diraja oleh Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Sekian, assalamualaikum warahmatullaahi wabarakaatuh... [Tepuk]
Tuan Yang di-Pertua
Terima kasih. Sila Yang Berhormat Hulu Selangor.
Tuan P. Kamalanathan a/l P. Panchanathan - Hulu Selangor
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Dengan ini saya P. Kamalanathan a/l P. Panchanathan, Ahli Parlimen bagi kawasan Hulu Selangor memohon untuk menyokong Usul Menjunjung Kasih ke atas Titah Ucapan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
Terlebih dahulu saya ingin mengambil peluang untuk mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Tuan Yang di-Pertua kerana memberi saya peluang untuk menyertai perbahasan ke atas Titah Ucapan Diraja oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sempena pembukaan rasmi Penggal Keempat Parlimen Yang Kedua Belas.
Tuan P. Kamalanathan a/l P. Panchanathan - Hulu Selangor
Sebelum meneruskan ucapan saya, saya ingin merafakkan sembah menjunjung duli ke bawah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong atas perkenan mencemar duli merasmikan Persidangan Parlimen kita semalam. Marilah kita juga melafazkan kesyukuran kepada Tuhan yang maha pengasih, yang telah melimpahkan rahmat dan kurnianya untuk membolehkan kita berjumpa sekali lagi di Parlimen tahun ini.
Selaku Ahli Parlimen Hulu Selangor saya berbesar hati mendapat ruang perbahasan ini untuk memberikan pandangan serta mengetengahkan beberapa isu yang penting yang perlu diberi pertimbangan demi menjana kehidupan yang lebih berwibawa untuk rakyat serta tanah air yang dicintai. Saya menyanjung tinggi serta berasa bangga dengan inti pati titah diraja yang merangkumi semua aspek yang penting kehidupan rakyat jelata secara komprehensif dan menyeluruh.
Tuan P. Kamalanathan a/l P. Panchanathan - Hulu Selangor
Saya yakin rakan-rakan Ahli Yang Berhormat, yang bertungkus-lumus untuk memastikan aspirasi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk negara dan bangsa dapat ditunaikan dengan berjaya dan tanpa sebarang pengecualian.
Tuan Yang di-Pertua, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah menegaskan kepentingan negara kita dalam memupuk semangat bersatu padu tidak kira bangsa dan agama. Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong juga telah memperingatkan bahawa melindungi keselamatan negara yang mungkin terancam dari musuh dalam mahupun luar negara adalah tanggung jawab yang dipikul oleh rakyat sejagat, tidak kira pangkat dan darjat. Walaupun Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong menyoroti kejayaan yang membanggakan Polis Diraja Malaysia dalam menurunkan indeks jenayah keseluruhan sebanyak 15 peratus , namun kita perlu mencari penyelesaian kepada peringkat akar umbi untuk memenangi perjuangan menentang jenayah.
Tidak dapat dinafikan yang antara punca utama peningkatan dalam kadar jenayah adalah ketidakfahaman dan pegangan agama yang kuat dalam seseorang individu yang terjerat dalam aktiviti antisosial. Saya ingin mencadangkan kepada Kementerian Pelajaran untuk memulakan kelas-kelas agama bukan Islam di semua peringkat persekolahan dalam negara kita sebagai satu langkah untuk memperkuatkan sahsiah generasi muda supaya lebih kental dan tidak mudah terjerat dalam aktiviti jenayah.
Seperti mana pelajar-pelajar Islam mempunyai subjek agama dalam jadual persekolahan harian, saya ingin perkara yang sama diwujudkan untuk pelajar-pelajar bukan Islam. Dengan kelas-kelas ini saya yakin yang sahsiah serta keperibadian generasi bukan Islam ini akan lebih cenderung untuk menjadi individu yang produktif dan bertanggungjawab pada masa akan datang dan akan menjauhi diri daripada kelakuan serta penglibatan dalam gejala negatif dan antisosial. Jikalau kesuntukan masa menjadi faktor dalam pewujudan kelas-kelas tersebut, mungkin pihak kementerian dapat mengelolakan kelas-kelas ini pada waktu lepas persekolahan sekurang-kurangnya dua kali seminggu.
Tuan Yang di-Pertua, kejayaan kerajaan dalam melaksanakan Rancangan Malaysia Kesembilan yang berakhir pada tahun 2010 harus diberi pujian. Hampir kesemua peruntukan RM230 bilion untuk projek-projek pembangunan telah digunakan oleh kerajaan untuk meningkatkan prasarana serta kualiti kehidupan rakyat. Saya ingin mencadangkan kepada pihak kerajaan khasnya Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan untuk mempamerkan kepada rakyat apakah faedah-faedah serta manfaat yang telah diperoleh oleh mereka melalui perbelanjaan kerajaan ini.
Informasi ini perlu spesifik serta terperinci dan juga mengambil kira faktor-faktor seperti bilangan kerja baru yang diwujudkan, sumbangan perbelanjaan ini kepada pembangunan negara dalam konteks GTP serta kemudahan-kemudahan awam yang diwujudkan melalui perbelanjaan ini terhadap menyelesaikan dan meningkatkan kualiti kehidupan warga negara. Mungkin kesemua kementerian boleh menunjukkan perbelanjaan mereka daripada peruntukan RMKe-9 di laman web mereka, mahupun media akhbar dan juga rangkaian-rangkaian nasional seperti TV1 dan TV2 ataupun lain-lain saluran media yang diminati oleh rakyat.
Perkara ini patut dilakukan supaya rakyat di serantau negara mendapat tahu dan sedar bagaimana duit mereka digunakan dengan bertanggungjawab dan untuk kebaikan optimum mereka. Langkah tersebut juga akan meningkatkan persepsi rakyat pada ketelusan pihak kerajaan serta komitmen kerajaan untuk menjadi accountable bagi perbelanjaan tersebut. Selain itu, lagi satu cara yang saya fikir sesuai untuk menangani sanubari rakyat adalah untuk mewujudkan sistem kuota untuk rakyat umum menjadi ahli lembaga dalam syarikat-syarikat GLC negara.
Kuota ini akan membolehkan rakyat biasa yang bertauliah untuk memberikan pandangan mereka kepada ahli lembaga lain dan memberikan ilham kepada arah tuju GLC tersebut dari pandangan warga negara biasa. Syarikat-syarikat milik kerajaan ini boleh mengiklankan kekosongan dalam lembaga pengarah mereka apabila terdapat kekosongan serta menyatakan syarat-syarat untuk memohon posisi tersebut. Langkah ini juga akan efektif untuk mendapatkan pandangan orang yang bertauliah dan sekarang berada di luar sistem kerajaan untuk memberikan suara kepada rakyat biasa.
Tuan P. Kamalanathan a/l P. Panchanathan - Hulu Selangor
Langkah sebegini juga akan menunjukkan keazaman kerajaan dalam mendengar suara rakyat serta pegangan kuat kerajaan untuk menjadi telus dalam apa jua syarikat perniagaan yang dimiliki oleh kerajaan.
Tuan Yang di-Pertua, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah mengiktiraf dan memuji kejayaan konsep Gagasan 1Malaysia. Pengiktirafan tersebut menunjukkan dedikasi pihak kerajaan untuk merealisasikan secara praktikal dan pragmatik Gagasan 1Malaysia dalam kehidupan seharian warga Malaysia. Pendukungan pemimpin dalam menyahut seruan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd. Najib bin Tun Abdul Razak untuk mendahulukan rakyat dan mengutamakan pencapaian adalah mantera kerajaan untuk mewujudkan sistem penyampaian kerajaan yang unggul.
Oleh yang demikian, saya ingin mencadangkan kepada kerajaan yang waktunya sudah sampai dan subur untuk pihak kerajaan menganjurkan Konvensyen Perpaduan Kebangsaan 1Malaysia yang pertama. Konvensyen ini adalah untuk semua pihak yang menyokong dan menghargai gagasan mulia ini. Gagasan 1Malaysia bukanlah satu gimik politik seperti yang difitnahkan oleh pihak pembangkang tetapi adalah konsep nasionalisme yang meletakkan kepentingan dan perpaduan rakyat sebagai keutamaan. Konvensyen ini adalah untuk sesiapa sahaja yang mengamati dan ingin menghalusi gagasan ini.
Konvensyen ini merentasi fahaman politik, perbezaan agama serta bangsa dan adalah untuk setiap individu yang ingin menyokong inisiatif mulia kerajaan. Konvensyen perpaduan 1Malaysia ini boleh dipengerusikan oleh wakil Yayasan 1Malaysia seperti Yang Berbahagia Tan Sri Lee Lam Thye dan Yang Berbahagia Dr. Chandra Muzaffar.
Konvensyen sebegini akan menjadi pemangkin untuk memartabatkan sahutan 1Malaysia di kalangan rakyat umum dan juga satu pentas untuk berkongsi wawasan, pandangan dan aspirasi untuk menjadikan Gagasan 1Malaysia lebih berkesan dan cekap.
Tuan Yang di-Pertua, kejayaan negara dalam Laporan Daya Saing Dunia 2010 juga telah diambil perhatian oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Kerajaan patut memberikan galakan yang lebih kepada industri berkaitan teknologi hijau dan ini adalah selaras dengan Dasar Teknologi Hijau Negara. Saya ingin mencadangkan kepada pihak Kementerian Pengajian Tinggi untuk menawarkan ijazah-ijazah seperti diploma yang khusus kepada teknologi hijau. Walaupun negara kita berada pada landasan yang betul dalam membangunkan bidang teknologi hijau di negara tetapi kita juga perlu soft skills dalam bentuk pendidikan untuk mencerahkan lagi masa hadapan industri hijau di negara kita.
Memandangkan keseriusan kerajaan dalam membangunkan industri teknologi hijau, langkah ini pasti akan padan dengan pelan induk Dasar Teknologi Hijau Malaysia dan menyumbang kepada kejayaannya. Inisiatif Talent Corporation adalah satu usaha yang murni dan ikhlas untuk merancakkan penarikan dan pengekalan modal insan yang berkepakaran tinggi di negara kita. Talent Corporation boleh menekankan pelbagai faktor, centre factor yang mampu menarik balik kepakaran warga Malaysia yang kini berada di luar negara.
Antara faktor-faktor tersebut adalah keindahan semula jadi negara yang mengagumkan dari aspek flora mahupun fauna. Selain itu kualiti kehidupan yang tinggi dan selesa adalah satu faktor yang pasti merangsang kepakaran warga Malaysia di luar negara untuk balik ke tanah air. Akhir sekali peluang untuk tinggal berdekatan dengan keluarga serta kawan mereka juga merupakan satu sebab utama untuk ahli pakar kembali ke pangkal ibu pertiwi Malaysia. Penubuhan Agensi Inovasi Negara serta penggubalan Dasar Industri Kreatif untuk menyemarakkan lagi penjanaan kekayaan di kalangan rakyat Malaysia merupakan salah satu lagi landasan untuk memacu pembangunan negara.
Tuan P. Kamalanathan a/l P. Panchanathan - Hulu Selangor
Kedua-dua mekanisme tersebut merupakan senjata kerajaan untuk mewujudkan produk dan kepakaran yang bertaraf dunia dalam industri yang mementingkan inovasi dan kreativiti. Saya ingin mencadangkan agensi tersebut untuk mengelolakan satu roadshow ke semua IPTA dan IPTS untuk menjelaskan kepada generasi graduan masa depan tentang kepentingan mereka mencungkil dan membangunkan daya kreativiti dan inovasi mereka walaupun bidang yang mereka mempelopori.
Tuan P. Kamalanathan a/l P. Panchanathan - Hulu Selangor
Mereka patut menyedari kepentingan daya-daya tersebut dalam menjadi ahli perniagaan atau pekerja yang berjaya. Dengan adanya roadshow sebegini saya yakin dan pasti tenaga kerja masa depan negara akan menunjukkan daya kreatif dan inovasi yang tinggi dalam prestasi seharian mereka. Saya juga ingin mencadangkan kepada Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pendidikan Tinggi untuk cuba menyelitkan syllabus mereka dengan pengajaran yang menunjukkan kepentingan mencungkil daya kreativiti serta melengkapi pelajar dengan kemampuan untuk berfikir secara inovatif dan kreatif.
Tuan Yang di-Pertua, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong mahukan kerajaan untuk meningkatkan usaha untuk menjadikan negara destinasi pelancongan yang lebih menarik. Saya ingin menyeru pihak Kementerian Pelancongan untuk mengoptimumkan potensi Parlimen Hulu Selangor, Daerah Hulu Selangor untuk menjadi destinasi pelancongan yang serba unik dan menarik. Hulu Selangor adalah sebuah tempat yang potensinya untuk dibangunkan sebagai destinasi pelancongan boleh direalisasikan dan saya ingin meminta pihak kerajaan untuk membantu dalam proses menukar Hulu Selangor menjadi tapak pelancongan yang premium.
Hulu Selangor mempunyai banyak tempat yang keindahannya memegunkan.
Terdapat hutan belantara yang sesuai untuk nature track dan hike seperti Bukit Kutu yang potensinya belum pada tahap optimum. Selain itu Sungai Pertak juga boleh digunakan lagi kerana keindahan air terjunnya serta sungainya yang sesuai untuk aktiviti white water rafting. Kolam Air Pertak adalah satu lagi tempat yang sangat indah dan mempunyai daya menarik pelancong. Dikatakan yang air di kolamnya mempunyai kebolehan untuk menyembuhkan pelbagai kesakitan dan keaiban badan. Kawasan sekitar Empangan Selangor juga mempunyai potensi yang hebat untuk dibangunkan sebagai destinasi ecotourism yang unggul. Ia adalah harapan saya yang pihak kerajaan menolong membangunkan...
Datuk Haji Mohamad bin Haji Aziz - Sri Gading
Yang Berhormat Hulu Selangor.
Tuan P. Kamalanathan a/l P. Panchanathan - Hulu Selangor
Ya.
Datuk Haji Mohamad bin Haji Aziz - Sri Gading
Tuan Yang di-Pertua, boleh jelaskan sedikit penyakit-penyakit apa yang boleh sembuh di sungai yang dikatakan tadi itu? Itu kalau betul memang saya sokong sangatlah menjadi pusat pelancongan Hulu Selangor. Terima kasih.
Tuan P. Kamalanathan a/l P. Panchanathan - Hulu Selangor
Terima kasih Yang Berhormat Sri Gading. Sebenarnya saya bukan pakar perubatan tetapi berdasarkan kepada maklumat-maklumat yang saya terima, kolam yang mempunyai kebolehan untuk menyembuhkan pelbagai penyakit ini adalah seperti mereka yang mempunyai masalah- masalah kulit dan sebagainya.
Dato’ Shamsul Anuar Nasarah - Lenggong
[Menyampuk]
Tuan P. Kamalanathan a/l P. Panchanathan - Hulu Selangor
Tidak perlulah Kepong, ke Hulu Selangor cukup. Saya sambung ucapan saya.
Ia adalah harapan saya yang pihak kerajaan menolong membangunkan Hulu Selangor sebagai destinasi pelancong kerana potensinya amat besar untuk menjadi penjana ekonomi kepada rakyat tempatan dan industri pelancongan. Baru-baru ini saya telah diberi satu taklimat oleh sebuah syarikat yang ingin menjadikan Hulu Selangor sebagai pusat pelancongan premium. Saya berharap agar syarikat tersebut akan diberi peluang untuk bekerjasama dengan agensi-agensi yang berkenaan untuk memasyhurkan Hulu Selangor.
Pihak kerajaan akan sentiasa mencari cara untuk meningkatkan produktiviti dan pendapatan pekebun-pekebun kecil. Kerajaan pasti akan mengambil iktibar untuk menurut titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi akan menerajui projek memperkasakan kehidupan peladang-peladang kecil.
Tuan P. Kamalanathan a/l P. Panchanathan - Hulu Selangor
Walau bagaimanapun, saya ingin membawa perhatian kerajaan kepada keadaan yang memudaratkan pekerja-pekerja ladang getah dan kelapa sawit yang masih belum mendapat upah yang setimpal dengan kerja dan suasana ekonomi hari ini. Saya ingin meminta Majlis Penetapan Gaji untuk mengambil isu ini dengan serius dan juga menetapkan upah minimum yang adil dan sesuai dengan ekonomi dunia di mana harga barang asas sedang naik dengan mendadak. Isu ini juga harus diselesaikan secepat mungkin kerana pekerja-pekerja ladang tersebut mengalami..
Dato’ Johari Abdul - Sungai Petani
Yang Berhormat Hulu Selangor.
Tuan P. Kamalanathan a/l P. Panchanathan - Hulu Selangor
Sebentar, sebentar – mengalami keadaan kewangan yang sangat merunsingkan dan mereka mengharapkan pihak kerajaan untuk membantu meringankan beban seharian mereka dengan menetapkan upah dan gaji minimum secepat mungkin. Dipersilakan Yang Berhormat Sungai Petani.
Dato’ Johari Abdul - Sungai Petani
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Saya ingin mendapat pandangan daripada Yang Berhormat Hulu Selangor. Apabila banyak ladang yang telah mengalami pembangunan, ladang-ladang yang telah pun diconvert menjadi housing estate dan sebagainya, ramai di antara penghuni-penghuni ladang ke bandar dan ramai di antara mereka adalah terdiri daripada anak-anak kaum India yang tidak mendapat penjelasan dan juga persediaan mental untuk ke bandar. Ini mengakibatkan ramai di antara mereka agak mendapat culture shock apabila masuk ke bandar dan akhirnya mereka berkumpul dan menimbulkan masalah sosial yang lain.
Adakah Yang Berhormat Hulu Selangor sedar dan bersetuju supaya harus ada satu proses di mana sebelum berlakunya pembangunan di salah satu estet itu harus ada satu program-program yang diambil oleh pihak-pihak tertentu khususnya kerajaan bagi menyediakan minda penduduk-penduduk dan juga penghuni-penghuni di estet-estet ini.
Terima kasih.
Tuan P. Kamalanathan a/l P. Panchanathan - Hulu Selangor
Jarang-jarang saya sokong dengan pendapat Yang Berhormat Sungai Petani tetapi perkara ini ada kebenarannya. Saya sokong cadangan ini dan harus kita beri pertimbangan yang sewajarnya. Akan tetapi selain daripada itu masalah sosial bukan sahaja wujud kerana perubahan tempat ataupun migration. Akan tetapi seperti mana yang saya katakan sebelum ini kita harus memberi lebih pembelajaran agama yang akan membantu serba sedikit, tetapi aspek yang dikatakan oleh Yang Berhormat Sungai Petani itu saya terima juga - mungkin dapat dimasukkan dalam ucapan saya sekali. Terima kasih.
Saya teruskan Tuan Yang di-Pertua. Terdapat implementasi yang sangat berkurangan terhadap objektif untuk memastikan golongan kurang berkemampuan dapat mendiami rumah milik mereka sendiri. Pembinaan 44,000 buah rumah kos rendah serta 63,000 unit rumah di bawah Program Perumahan Rakyat amat membanggakan dan mendemonstrasikan kepekaan kerajaan Barisan Nasional kepada isu ini. Justeru itu saya ingin mempelawa Program Perumahan Rakyat untuk membaik pulih banyak projek yang terbiar dan terbengkalai di kawasan Hulu Selangor. Dengan berbuat demikian bukan sahaja projek-projek ini akan hidup kembali tetapi keperluan rumah kos rendah juga boleh dicapai.
Selain itu kos membangunkan projek terbengkalai ataupun terbiar ini pasti lebih murah daripada membina dari tapak permulaan.
Tuan Yang di-Pertua, usaha untuk mempertingkatkan prestasi sistem pengangkutan negara yang penting ini diteruskan dan dilaksanakan dengan langkah yang terperinci dan efektif. Sehubungan dengan ini saya ingin mencadangkan kepada pihak kerajaan untuk mewajibkan semua syarikat bas awam untuk mempamerkan masa bertolak dan masa ketibaan bas-bas mereka. Ini adalah untuk memudahkan pengguna sistem pengangkutan awam ini untuk menjimatkan masa mereka. Beribu-ribu jam kerja sedang dibazirkan menunggu di perhentian-perhentian bas dan ini secara langsung memberi kesan negatif bukan sahaja kepada produktiviti seseorang pekerja tetapi juga kepada kualiti kehidupannya.
Tuan P. Kamalanathan a/l P. Panchanathan - Hulu Selangor
Saya ingin mencadangkan kepada pihak Kementerian Pengangkutan untuk mewajibkan laman web untuk syarikat-syarikat bas tersebut dengan masa ketibaan dan masa bertolak juga untuk memudahkan para pelancong negara yang merupakan penjana besar pendapatan negara untuk menggunakan sistem pengangkutan yang teratur dan tepat waktu supaya cuti mereka digunakan dengan sepenuhnya, dengan selesa dan menarik pelancong tersebut untuk terus memilih Malaysia sebagai destinasi pelancongan utama mereka. Pihak kementerian juga boleh memantau pameran web tersebut untuk memastikan servis syarikat-syarikat bas tersebut mematuhi apa yang dipamerkan dan mungkin sebuah sistem demerit boleh diperkenalkan supaya kualiti sistem bas ini tidak menurun tetapi sebaliknya reputasi sistem pengangkutan bas di Malaysia diharumi.
Memang tidak dapat dinafikan bahawa kenaikan harga barang keperluan asasi merupakan fenomena yang merangkumi seluruh dunia. Rakyat harus melengkapi diri dan menjadi pengguna yang bijak dan tidak hanya bergantung kepada kerajaan untuk pertolongan menerusi subsidi. Tuan Yang di-Pertua, saya ingin mencadangkan kepada kementerian-kementerian yang berkenaan untuk lebih berwaspada dan melakukan pemantauan yang lebih berkesan untuk menghalang peniaga-peniaga yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan dari krisis harga ini. Sebagai contoh, apabila harga gula telah naik 20 sen sekilo ramai penjaja dan peniaga menaikkan harga minuman seperti kopi, teh dan milo sebanyak 20 sen secawan.
Tuan P. Kamalanathan a/l P. Panchanathan - Hulu Selangor
Perkara sebegini tidak munasabah dan hakikatnya akhirnya rakyat jelata yang menjadi mangsa. Kementerian-kementerian yang berkenaan juga boleh bekerjasama dengan NGO-NGO dan persatuan-persatuan pengguna seperti FOMCA ataupun Persatuan Pengguna Islam untuk mewujudkan pasukan pemantau sukarelawan untuk menolong dalam proses memantau harga sekiranya pihak kementerian tidak cukup tenaga kerja untuk melakukan pemantauan komprehensif dan holistik. Langkah sebegini pasti akan berfungsi sebagai mekanisme pemantauan yang berkesan supaya rakyat tidak terlalu dibebankan khasnya oleh peniaga yang tidak bertanggungjawab.
Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong juga telah menyentuh bahawa hal- hal yang berkaitan dengan agama, bersifat perkauman dan sensitif tidak patut dibangkitkan.
Dalam sebuah negara yang berbilang bangsa dan kaum, saya pasti isu-isu sebegini tidak akan menjamin suasana negara yang aman dan damai. Tuan Yang di-Pertua, saya ingin mengucapkan sedikit sebanyak di sini tentang kontroversi...
Tuan M. Manogaran - Telok Intan
Penjelasan.
Tuan P. Kamalanathan a/l P.Panchanathan - Hulu Selangor
Silakan Yang Berhormat Telok Intan.
Tuan M. Manogaran - Telok Intan
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, terima kasih Yang Berhormat dari Hulu Selangor. Yang Berhormat, saya tertarik dengan apa yang dikatakan tadi bahawa Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah sentuh dalam ucapan baginda mengenai isu-isu perkauman yang tidak seharusnya dibangkitkan. Saya hendak tanya, jika isu-isu yang menyentuh perkauman tidak harus dibangkit, mengapakah Kementerian Pelajaran masih ingin meneruskan dengan buku Interlok di mana kandungan buku Interlok sentuh isu-isu perkauman. Apakah tujuan sebenarnya?
Adakah Yang Berhormat Hulu Selangor tahu mengapakah kementerian walaupun beberapa organisasi termasuk MIC telah membantah terhadap penggunaan buku tersebut tetapi buku tersebut masih tidak ada apa-apa keputusan dibuat dan murid-murid di sekolah- sekolah di Selangor, Negeri Sembilan dan Wilayah Persekutuan tidak lagi memulakan pelajaran mereka di peringkat SPM walaupun kita sudah di bulan Mac sekarang ini. Jadi bolehkah Yang Berhormat bagi pendapat adakah kementerian akan mengambil pedoman daripada ucapan Seri Paduka Baginda ini. Terima kasih.
Tuan P. Kamalanathan a/l P.Panchanathan - Hulu Selangor
Yang Berhormat Teluk Intan, soalannya bagus tetapi harus ditujukan kepada Menteri atau Timbalan Menteri.
Tuan P. Kamalanathan a/l P.Panchanathan - Hulu Selangor
Saya Ahli Parlimen biasa sahaja, saya hanya memberi ucapan apa yang saya tahu tetapi untuk maklumat, mungkin Yang Berhormat Teluk Intan belum tahu lagi MIC telah membangkitkan isu ini dan Timbalan Perdana Menteri juga telah pun memberi tahu apakah situasi sekarang. Mereka dalam proses untuk menganalisa buku itu dan biarlah mereka buat keputusan terakhir tapi saya rasa soalan itu harus dijawab dan akan dijawab oleh kementerian yang berkenaan. Terima kasih.
Dato' Shamsul Anuar Nasarah - Lenggong
Yang Berhormat Hulu Selangor, mungkin saya boleh tambah sikit. Nak bagi pemahaman bukan kepada Yang Berhormat Hulu Selangor tetapi kepada Yang Berhormat Telok Intan. Saya ingat Yang Berhormat Telok Intan tak baca surat khabar, tak dengar berita pun atau dia baca juga tetapi dia hanya baca yang berpihak kepada dia sahaja. Sebenarnya Yang Amat Berhormat Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran telah pun membuat pengumuman bahawa jawatankuasa khas ditubuhkan dan melibatkan pelbagai pihak mewakili kaum India dan kaum-kaum lain untuk membuat penilaian tentang buku ini, membuat pengubahsuaian dan sebagainya.
Jadi tidak timbul apa perkara yang dibangkitkan tadi sebenarnya dalam tindakan kerajaan. Oleh sebab itu saya harap isu-isu yang dimaksudkan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong tadi ialah cara kita membangkitkan sesuatu isu. Kita bukan tidak boleh bercakap atas kepentingan kaum-kaum kita tetapi kaedah kita menyampaikan.
Semua pihak mesti bercakap atas kepentingan kaum masing-masing tetapi bagaimana kita menyampaikan itu penting. Cara tadi misalnya, itu seolah-olah mahu menimbulkan suasana kemarahan rakyat kepada kerajaan misalnya. Yang sebenarnya berlaku ialah kerajaan telah pun menubuhkan satu jawatankuasa khas yang menilai semula tentang buku Interlok.
Tidak timbul lagi sebagaimana yang disebut oleh Yang Berhormat Telok Intan.
Tuan Yang di-Pertua
Yang Berhormat Hulu Selangor.
Dato' Haji Tajuddin Abdul Rahman - Pasir Salak
Saya minta laluan.
Tuan Yang di-Pertua
Yang Berhormat Hulu Selangor, duduk dulu. Dalam hal sebegini, apabila seorang ahli Yang Berhormat ingin mencelah, biarlah celahan itu apabila bertanya ada kaitan dengan apa yang disebut. Yang tadi daripada Yang Berhormat Lenggong itu idea okey tapi seolah-olah dia sendiri berdiri atas kapasiti dia untuk menjawab kepada... [Dewan riuh] Yang Berhormat Telok Intan, janganlah begitu. Ahli-ahli Yang Berhormat. Kalau ada begitu, tidak kita habis berbahas. Jadi biarlah berbahas melalui peraturan mesyuarat.
Silakan.
Dato' Haji Tajuddin Abdul Rahman - Pasir Salak
Tuan Yang di-Pertua, terima kasih. Terima kasih Yang Berhormat Hulu Selangor. Saya ingin bertanya kepada Yang Berhormat, apa yang menjadi persoalan kepada Yang Berhormat Teluk Intan tadi apabila dia bertanya perkara ini? Boleh kita rujuk balik kepada dia, minta yang mana yang dia kata ada masalah berhubung dengan buku Interlok ini. Dengan izin, let’s be specific. Saya hendak dengarlah sebab saya ada baca dalam surat khabar macam-macam cerita.
Sekarang ini yang menimbulkan masalah ataupun yang berasa tidak puas hati ialah Yang Berhormat Telok Intan, MIC dia tidak ada masalah sangat. Yang menjadi masalah ini kepada pembangkang yang disuarakan oleh Yang Berhormat Telok Intan tadi. Kita nak tahulah dengan izin, what is it about, what is the problem?
Boleh? Ataupun Yang Berhormat Hulu Selangor hendak bagi jawapan ataupun respons kepada pertanyaan saya?
Tuan M. Manogaran - Telok Intan
Boleh saya respons?
Tuan P. Kamalanathan a/l P.Panchanathan - Hulu Selangor
Tak apa, biar saya habiskan ucapan saya. Terima kasih Yang Berhormat Telok Intan.
Tuan M. Manogaran - Telok Intan
Yang Berhormat Pasir Salak boleh debate dengan sayalah di luar.
Tuan P. Kamalanathan a/l P.Panchanathan - Hulu Selangor
Tak payah, ini peluang saya.
Dato' Haji Tajuddin Abdul Rahman - Pasir Salak
Tan Sri, ini bukan soal nak debate. Kita hendakkan kenyataan yang sebenar, kita tidak ada hendak tunjuk pandai debate. Saya tahu DAP memang suka debate.
Tuan M. Manogaran - Telok Intan
MIC ....
Dato' Haji Tajuddin Abdul Rahman - Pasir Salak
Kalau yang tak ada pun dia adakan.
Tuan M. Manogaran - Telok Intan
Yang Berhormat Pasir Salak tidak tahu MIC sendiri objection.
Tuan Yang di-Pertua
Ahli-ahli Yang Berhormat, Ahli-ahli Yang Berhormat. Ini cuma peringkat perbahasan sokongan, kalau nanti ada idea daripada Yang Berhormat Telok Intan mahupun Yang Berhormat Pasir Salak, insya-Allah saya akan bagi peluang nanti untuk bahas khusus pasal soal itu sahaja. Yang Berhormat Telok Intan setengah jam, Yang Berhormat Pasir Salak juga.
Dato' Haji Tajuddin Abdul Rahman - Pasir Salak
Tuan Yang di-Pertua, pasal dia bangkitkan sekejap tadi.
Tuan M. Manogaran - Telok Intan
Saya sedia, saya sedia setengah jam. Are you okay or not?
Dato' Haji Tajuddin Abdul Rahman - Pasir Salak
Saya tak pandai debate.
Tuan Yang di-Pertua
Yang Berhormat Hulu Selangor, masa, masa.
Tuan P. Kamalanathan a/l P.Panchanathan - Hulu Selangor
Ya, Tuan Yang di- Pertua, saya sambung. Saya tidak akan beri komen terhadap itu tapi biar kementerian berkenaan dan juga rakan seperjuangan saya dari Lenggong telah pun memberi sedikit maklumat tentang statusnya. Saya harap ucapan Yang Berhormat Lenggong dimasukkan dalam ucapan saya juga, saya teruskan Tuan Yang di-Pertua.
Tuan Yang di-Pertua
Dan ambil iktibar daripada titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Jangan isu-isu yang nanti akan merebak seperti yang disebut itu jadi pula isu dalam Dewan, pertengkaran. Sila.
Tuan P. Kamalanathan a/l P.Panchanathan - Hulu Selangor
Tuan Yang di- Pertua, saya ingin ucapkan sedikit sebanyak di sini tentang kontroversi novel Interlok yang berhubung kait dengan isu-isu sensitif. Alangkah malangnya terdapat elemen-elemen bersifat anasir yang tidak bertanggungjawab di negara kita yang selalu menunggu masa untuk mempolitikkan segala isu yang hanya untuk kepentingan diri mereka. Kementerian Pelajaran dan Kabinet negara sebaliknya telah mendengar suara rakyat yang kurang puas dengan pemilihan novel tersebut sebagai bahan pembacaan yang diwajibkan di bangku sekolah. Mereka telah mengambil langkah yang proaktif untuk menyelesaikan masalah tersebut dengan cara yang rasional dan praktikal.
Inilah perwatakan sebuah kerajaan yang prihatin dan peka kepada suara rakyat.
Walau bagaimanapun, saya ingin mencadangkan kepada Kementerian Pelajaran supaya satu jawatankuasa khas ditubuhkan untuk pemilihan novel wajib di sekolah yang terdiri daripada ahli-ahli yang berbilang bangsa supaya isu buku Interlok ini tidak berulang dan kontroversi sebegini tidak akan dapat digunakan oleh pihak-pihak tertentu hanya untuk kepentingan politik walaupun keselamatan negara mungkin terjejas akibat perbuatan mereka.
Datuk Haji Mohamad bin Haji Aziz - Sri Gading
Yang Berhormat Hulu Selangor, novel Interlok ini telah pun keluar 40 tahun lebih dahulu. Tak jadi apa masalah tetapi dipolitikkan, dipolitikkan. Sebenarnya tak ada apa-apa yang meresah gelisah, meresah susahkan, tak ada. Tidak ada apa-apa masalah pun buku itu tapi yalah hendak dipolitikkan jadi politiklah dia, Tuan Yang di-Pertua. Jadi Yang Berhormat Hulu Selangor, you beralih tempat lainlah.
Tuan P. Kamalanathan a/l P.Panchanathan - Hulu Selangor
Terima kasih Yang Berhormat Sri Gading.
Tuan P. Kamalanathan a/l P.Panchanathan - Hulu Selangor
Tuan Yang di-Pertua, perbuatan yang tidak sopan seperti fitnah dan tohmahan adalah tidak mulia dalam kesemua agama dan juga tidak patut dilakukan demi menjamin perpaduan serta keamanan negara. Pendapat saya adalah tidak kira persamaan politik yang berbeza namun apabila nama baik negara dipersoalkan dan ditohmah, kita patut berdiri dengan suara yang utuh dan semangat yang kental untuk melindungi ibu pertiwi daripada serangan tidak berasas.
Namun terdapat beberapa Ahli Yang Berhormat di sebelah sana yang mengambil kesempatan memburukkan dan cuba menghancurkan nama baik negara di luar negara.
Saya dengan hati nurani yang ikhlas ingin memberitahu pemfitnah sebegini supaya taubat dan tidak mengulangi perbuatan tersebut. Jikalau Ahli-Ahli Yang Berhormat yang masih keras kepala yang ingin mengulangi perbuatan ini saya ingin menggesa kerajaan mengambil langkah yang sewajarnya dan tindakan yang tegas untuk memberhentikan perbuatan menderhaka tersebut. Tidak perlulah kita memburukkan nama negara sendiri di pentas dunia dengan izin...
Dato' Shamsul Anuar Nasarah - Lenggong
Tuan Yang di-Pertua. Terima kasih Yang Berhormat Hulu Selangor. Berkaitan dengan fitnah memburuk-burukkan kerajaan.
Saya agak kesal kerana perbuatan ini bukan hanya dilakukan dalam negara kita. Saya tengok YouTube, bagaimana Yang Berhormat Permatang Pauh bercakap selama lebih satu jam di TV Indonesia memburuk-burukkan kerajaan, membuat fitnah, pelbagai perkara yang disebut, semuanya tidak betul. Ini satu tindakan yang tidak bertanggungjawab, tindakan inilah yang sebenarnya disebut oleh Seri Paduka Yang Dipertuan Agong dalam ucapan Baginda.
Supaya kita mesti ada tanggungjawab, tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia.
Walaupun kita berbeza fahaman politik tetapi soal menjaga negara ini, menaikkan nama negara ini, ini tanggungjawab kita. Sebab itu saya hendak tanya pandangan Yang Berhormat Hulu Selangor. Apakah patut kerajaan mengambil tindakan terhadap mereka yang telah memburukkan nama Malaysia bukan hanya dalam negara tetapi juga di luar negara?
Tuan P. Kamalanathan a/l P. Panchanathan - Hulu Selangor
Saya setuju dengan pendapat Yang Berhormat Lenggong dan harap ucapan beliau juga dimasukkan dalam ucapan saya. Seperti mana yang telah saya katakan tadi, tindakan yang tegas untuk memberhentikan perbuatan ini harus diperlukan bagi saya...
Dato' Ibrahim Ali - Pasir Mas
Boleh Yang Berhormat, bagi jalan? Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Yang Berhormat Hulu Selangor kerana secara rasmi melahirkan rasa tidak puas hati, pihak-pihak tertentu memburuk-burukkan negara atas isu yang dimaksudkan. Oleh itu, saya hendak tanya kenapa MIC tidak keluar kenyataan secara rasmi mengutuk perbuatan Hindraf sebuah pertubuhan haram? Ini kerana Hindraf, pengerusinya yang sedang bersembunyi di luar negara membuat representation melalui satu nota memorandum kepada 21 pihak. Antaranya kepada Political Secretary United States, kepada Foreign British Minister, Pengerusi Hak Asasi European Commission dan lain-lain.
Tuan Yang di-Pertua, I took the initiative menjawab surat yang ditulis oleh Moorthy ini dan saya juga hantar melalui emel dan pos kepada semua 21 pihak ini. Jadi, saya faham kenapa MIC tidak berani mengeluarkan kenyataan mengutuk perbuatan Hindraf sebab takut nanti masyarakat kaum India marah kepada MIC. Ini persoalan undi, saya faham persoalan undi tetapi yang benar tetap benar. Memang saya mengakui undi-undi ini semua penting termasuk undi kaum India. Saya hendak ingatkan juga, undi kaum Melayu pun tidak kurang pentingnya.
Jadi saya takut nanti banyak pihak tersalah faham nanti dan turut menjejaskan kepentingan MIC juga untuk mendapat sokongan orang Melayu. Sebab buku Interlok dibakar oleh setengah-setengah pihak. Buku Interlok itu ditulis oleh sasterawan negara iaitu Datuk Abdullah Hussin. Datuk Abdullah Hussin ini orang Melayu. Orang Melayu yang di kampung-kampung pun ada juga akal yang pendek, yang mudah sensitif bila dibuat kerja- kerja seumpama ini tetapi tidak ada kutukan yang dibuat. Saya hendak beritahu, kita akan tetap memberi sokongan tanpa mengira kaum asal mana kita berdiri di atas perkara yang benar.
Dato' Ibrahim Ali - Pasir Mas
Kalau orang Melayu tidak betul buat, kita kutuk juga orang Melayu tidak betul.
Akan tetapi jangan kita turut bermain politik yang menjejaskan kepentingan negara kita. Ini yang saya rasa Tuan Yang di-Pertua, we have to set that mind clear dan itu saya ucap tahniah kepada Yang Berhormat Hulu Selangor. Cuma saya hendak supaya pendirian itu lebih jelas dan lebih tegas dan lebih telus. Sekian, terima kasih.
Tuan P. Kamalanathan a/l P. Panchanathan - Hulu Selangor
Terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua saya akan sambung... [Disampuk] Hendak jawab, hendak jawab?
Tidak apalah, saya habiskan ucapan dahulu, jawab luar Dewan boleh jawab. Saya hendak teruskan ucapan saya.
Tuan Chua Tian Chang @ Tian Chua - Batu
Boleh mencelah?
Tuan P. Kamalanathan a/l P. Panchanathan - Hulu Selangor
Tidak, duduk.
Tidak perlulah kita memburukkan nama negara sendiri di pentas dunia, dengan izin, ”Don’t cut your own nose to spite your face”, my dear friends, in the end you will not only lose your face, not good looking anymore and your ears also look…
Tuan Chua Tian Chang @ Tian Chua - Batu
Takkanlah you attack tidak bagi..
Tuan P. Kamalanathan a/l P. Panchanathan - Hulu Selangor
No, no, saya tidak beri laluan untuk Yang Berhormat Batu untuk berucap.
Tuan Chua Tian Chang @ Tian Chua - Batu
Ya, perkara ini..
Tuan P. Kamalanathan a/l P. Panchanathan - Hulu Selangor
Kepentingan Orang Asli di Malaysia akan terus dibela. Kerajaan tidak pernah dan tidak mengabaikan atau mengetepikan kepentingan Orang Asli dan penduduk luar bandar. Tuan Yang di- Pertua, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk meminta Kerajaan Persekutuan untuk menolong ramai Orang Asli yang berada di kawasan Parlimen Hulu Selangor. Walaupun mereka mempunyai 16 perkampungan Orang Asli di sana tetapi hanya satu perkampungan sahaja telah dirizabkan untuk mereka.
Oleh yang demikian, kehidupan Orang Asli tersebut adalah penuh cabaran dan kesengsaraan. Saya ingin meminta Kerajaan Persekutuan untuk memikul tanggungjawab kerana kerajaan negeri tidak menunjuk minat langsung terhadap masyarakat Orang Asli.
Oleh yang demikian nampaknya hanya Kerajaan Persekutuan sahajalah yang dapat membantu mereka.
Tuan Yang di-Pertua, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sukacita dengan pembangunan FELDA dan juga komitmen kerajaan terhadap meningkatkan kualiti kehidupan peneroka FELDA serta keluarga mereka. Ke arah mencapai matlamat mulia ini FELDA telah memperuntukkan sebanyak RM1.6 bilion. Saya ingin mencadangkan satu pendekatan untuk berkongsi. Pada pendapat saya, sesiapa sahaja khasnya dari pihak pembangkang yang memfitnah FELDA sebagai projek yang bankrap, sebenarnya orang beginilah yang sememangnya bankrap idea dan isu mantap untuk dibawa kepada pangkuan rakyat.
Rakan seperjuangan di pihak pembangkang, tolonglah cari isu-isu yang relevan dan penting untuk dibahaskan dan dibawa kepada rakyat umum. Jangan menggunakan daya kreativiti anda untuk tujuan tidak mulia. FELDA adalah sebuah institusi yang diilhamkan oleh Perdana Menteri Malaysia kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak dan telah membawa pembangunan yang mendadak dalam dekad-dekad berikutan kewujudannya.
Sekarang FELDA merupakan sebuah cerita success yang agung dan terdapat dua juta peneroka yang kehidupan mereka menjadi lebih terang dan selesa dan mereka telah mengeluarkan diri daripada keadaan kehidupan yang miskin untuk menjadi petani dan peneroka yang berjaya.
Transformasi dari orang yang tidak ada tanah kepada pemilik tanah yang berjaya adalah hasil visi dan perancangan teliti kerajaan yang berwawasan. Untuk memfitnah bahawa FELDA telah bankrupt menunjukkan kebankrapan pihak pembangkang dalam mencari isu yang relevan. Saya ingin menggesa Kementerian Penerangan untuk mengambil langkah untuk menjelaskan keadaan sebenar kepada rakyat yang mungkin terpesong oleh tohmahan yang tidak berasas tentang kesihatan kewangan FELDA.
Tuan P. Kamalanathan a/l P. Panchanathan - Hulu Selangor
Mungkin kementerian boleh menghasilkan sebuah dokumentari untuk menunjukkan kejayaan sebenar FELDA.
Namun dengan cara ini pun saya musykil yang pihak pembangkang akan mengakui kesilapan mereka. Tabiat mereka adalah lebih untuk memutarkan cerita dongeng lain yang memburukkan nama kerajaan dalam projek lain. Namun kerajaan mempunyai tanggungjawab untuk memberitahu rakyat apa yang benar dan menyedarkan rakyat terhadap penipuan pihak pembangkang.
Tuan Yang di-Pertua, perkhidmatan Klinik Bergerak 1Malaysia ke kawasan- kawasan terpencil negara yang memberikan perkhidmatan medical dan kesihatan kepada warga luar bandar amat dihargai oleh penduduk-penduduk luar bandar. Perkhidmatan ini juga merangkumi rawatan pergigian, pemeriksaan mata serta penyediaan cermin mata percuma. Saya ingin mengambil peluang ini untuk mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Barisan Nasional dan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri kerana perkhidmatan tiga Klinik 1Malaysia dan satu Klinik Bergerak 1Malaysia yang bertempat di Hulu Selangor.
Perkhidmatan, dengan izin, people friendly, touching the people’s heart and fulfilling people’s needs inilah yang menjadi teladan kepada sebuah kerajaan yang mementingkan keperluan rakyat. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Kesihatan kerana lawatan mereka ke semua sekolah-sekolah di kawasan Hulu Selangor untuk memberi rawatan pergigian percuma kepada para pelajar. Saya ingin mencadangkan supaya rawatan sebegini juga diberikan kepada ibu bapa pelajar jika mereka memerlukannya. Perkhidmatan ini adalah sangat diperlukan dan dihargai oleh rakyat. Justeru itu saya harap pihak kementerian akan mempertimbangkan permintaan saya dengan masak.
Belia merupakan tunggak dan tulang belakang sesebuah negara. Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah menggalakkan usaha kerajaan untuk membangunkan belia-belia tanah air kita. Di sini saya ingin membangkitkan satu isu yang sedang dialami oleh belia-belia India/Hindu khasnya di IPTA dan juga mereka yang menduduki peperiksaan SPM Tingkatan 5. Tuan Yang di-Pertua, Deepavali merupakan satu perayaan keagamaan dan sosial untuk penganut yang beragama Hindu di negara ini.
Pada hari inilah keluarga dari merata tempat berkumpul untuk merayakan hari yang mulia ini. Alangkah malangnya pelajar-pelajar Hindu yang menduduki peperiksaan SPM tidak dapat merayakannya dengan hati yang gembira kerana peperiksaan SPM mereka sedang berlangsung pada masa yang sama.
Tuan P. Kamalanathan a/l P. Panchanathan - Hulu Selangor
Walaupun hari Deepavali adalah cuti umum, namun pelajar-pelajar tersebut mempunyai peperiksaan sehari sebelum atau selepas hari perayaan tersebut. Saya ingin mencadangkan kepada pihak Lembaga Peperiksaan Malaysia untuk mencari jadual waktu peperiksaan yang lebih prihatin kepada pelajar penganut agama Hindu dan keluarga mereka supaya mereka boleh mengamati perayaan tersebut dengan tenang dan gembira di sisi keluarga dan kawan-kawan mereka.
Situasi yang sama berlaku di sesetengah IPTA di negara. Pelajar Hindu tidak dapat balik kampung dan bersama keluarga mereka kerana peperiksaan universiti yang bertembung dengan hari Deepavali. Terdapat juga mereka yang harus menduduki peperiksaan pada malam sebelum Deepavali dan tidak sempat balik ke kampung untuk bersama sanak-saudara. Saya ingin mencadangkan sikap 1Malaysia diamalkan apabila menentukan hari yang sesuai untuk peperiksaan supaya tidak ada sesiapapun yang kecil hati kerana tidak dapat merayakan satu-satunya perayaan Hindu yang bersifat sosial dan kekeluargaan.
Tuan Yang di-Pertua, akhir kata, saya teruja dengan titah ucapan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang telah mendampingi semua topik dan isu yang penting kepada segenap masyarakat Malaysia. Titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong juga adalah sangat menyeluruh, padat, mampat dan menarik pada masa yang sama.
Tuan P. Kamalanathan a/l P. Panchanathan - Hulu Selangor
Saya yakin, dengan Titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong akan menjadi inspirasi untuk semua dalam Dewan ini bertungkus-lumus menjayakan Program Transformasi Kerajaan dan menjadi batu loncatan ke arah anjakan paradigma ke sebuah negara berpendapatan dan berpengetahuan tinggi menjelang tahun 2020.
Tuan Yang di-Pertua, dengan itu saya wakil Barisan Nasional kawasan Parlimen Hulu Selangor mohon menyokong. Sekian, terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua
Terima kasih. Ahli-ahli Yang Berhormat, masalahnya ialah bahawa usul Yang Berhormat Jasin sekarang ini terbuka untuk dibahas dan saya diisyaratkan dari pihak Pakatan Rakyat bahawa wakil pembahas pertama daripada mereka adalah Yang Berhormat Machang. Saya difahamkan ini sudah dipersetujui. Jadi, saya jemput Yang Berhormat Machang dan Yang Berhormat mempunyai masa samalah, 90 minit.
Tuan Saifuddin Nasution bin Ismail - Machang
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakaatuh... [Membaca sepotong ayat al-Quran] “Dan jika sekiranya penduduk sesebuah negeri itu beriman dan bertakwa kepada Aku...”, kata Allah SWT, “...Nescaya akan Aku limpahkan keberkatan daripada pintu langit dan bumi.” Tuan Yang di-Pertua, terima kasih. Saya bersyukur mendapat peluang dan kesempatan ini. Saya tambah gembira melihat kesihatan Tuan Yang di-Pertua bertambah baik. Saya doakan agar Tuan Yang di-Pertua akan terus sihat. Alhamdulillah.
Tuan Yang di-Pertua, titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong setebal 19 halaman sempat saya teliti kandungannya yang menyentuh pelbagai perkara tetapi berkisar prinsipnya yang lima yakni memelihara agama, menjaga jiwa, menjaga akal, memelihara keturunan dan memelihara harta.
Tuan Yang di-Pertua, menyentuh tajuk ekonomi, turut disentuh ialah petunjuk, apa yang disebut kejayaan negara kita dalam bentuk FDI. Angka pelaburan asing yang masuk, pertumbuhan ekonomi 7.2 peratus pada tahun lepas, kejayaan pakej rangsangan, Program Transformasi Ekonomi dan segala macam. Di tengah-tengah hiruk pikuk wacana ekonomi khususnya model ekonomi pasca DEB, Pakatan Rakyat - PAS, Keadilan, DAP tampil menyuarakan model ekonomi yang menepati prinsip keadilan. Buku Jingga yang dihasilkan Pakatan Rakyat mengangkat gagasan ekonomi berkeadilan, pro kaum dhuafa, meratakan kuih ekonomi negara dan ekonomi yang memenuhi dua keperluan pokok - kecukupan, dan kebebasan dari ketakutan.
Keadilan hanya mungkin terlaksana Tuan Yang di-Pertua, di tengah rakyat dan pemerintah yang berintegriti. Memang, integriti itu tinggi. Akan tetapi kekuasaan lebih kuat.
Oleh kerana itu, di mana-mana, integriti itu selalu dikalahkan oleh kekuasaan. Keadilan hanya mungkin terlaksana dalam pemerintahan rule of law. Akan tetapi di mana-mana pun Tuan Yang di-Pertua, keadilan selalu terkorban apabila the rulers overrule the rule of law.
Keyakinan kami adalah gerakan rakyat adalah kekuatan keramat yang mampu menundukkan keangkuhan kuasa dan kesombongan dana. When the people lead, the leaders will follow.
Meneliti ucapan-ucapan awal rakan-rakan saya terdahulu Tuan Yang di-Pertua, saya kira saya perlu meletakkan perspektif yang tepat mengenai kesyukuran. Faham kita sekarang ialah syukur itu terima kasih kepada kerajaan. Kerajaan buat sekolah, kerajaan buat jalan, buat balai raya, kerajaan bagi gaji, syukur. Apa yang kita faham sebagai orang Islam, Allah SWT sebut... [Membaca sepotong ayat al-Quran] “Jika kamu syukur, Aku tambah nikmat Aku tetapi jika kamu kufur azab Aku sangat pedih.” Itu yang kita fahamlah.
Oleh sebab itu saya mengajak rakan-rakan sebelah Barisan Nasional, biarlah konsep bersyukur ini jangan disempitkan bersyukur kepada government of the day. Tugas kita ialah khalifah memakmurkan alam ini dan menguruskan alam ini dengan agama.
Ekonomi tidak hanya tentang wang dan saham, gedung dan gudang, projek dan kontra, tetapi ia juga amat berkait dengan integriti dan reputasi.
Tuan Saifuddin Nasution bin Ismail - Machang
Kata pujangga, “Losing money is bad, but losing reputation is worst”. Dalam kaitan ini Tuan Yang di-Pertua, Ke Bawah Duli Yang di-Pertuan Agong turut menyentuh tentang perkara yang berkaitan tentang integriti dan reputasi. Oleh sebab itu baginda menggesa agar institusi penguat kuasa khususnya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah diperkasakan.
Saya terbaca Tuan Yang di-Pertua, dalam akhbar The Star Februari 2010, tersiar makalah oleh Dennis Ignatius dalam ruang Diplomatically Speaking. Katanya, “A brand name is more than an image; it is the essence of what a brand represents”. Katanya lagi, ada sejumlah aib yang mencemarkan citra Malaysia di mata dunia. “Over the years, scandal, corruption and mismanagement, as well as misguided policies, have seriously left brand Malaysia reeling from a thousand cuts. The Kugan case, the death in custody of Teoh Beng Hock and other high profile cases brought us a great deal of unsavory international intention. The massive PKFZ fiasco, RAMF jet engine and many others have convinced many foreign observers and businessmen that corruption is now out of hand in Malaysia.” Ini tersebar dalam akhbar The Star – akhbar milik MCA.
Oleh sebab itu saya mengajar rakan-rakan saya dari Barisan Nasional untuk melihat secara jujur. Ini bukan soal pembangkang bercakap di luar negara. Ini soal persepsi yang terang di hadapan mata. Kalau hendak teruskan dengan denial syndrome, silakan.
Kita boleh izinkan sahaja luncai terjun dengan labu-labunya.
Tuan Yang di-Pertua, saya juga ingin mengungkap dan meminta pihak kerajaan untuk memberikan penjelasan terhadap satu perkara. Tuan Yang di-Pertua, 1Malaysia Development Berhad mengeluarkan bond yang dijamin oleh kerajaan sebanyak RM5 bilion.
Difahamkan 1Malaysia Development Board ini cuma terima RM4.7 bilion sahaja. RM300 juta lagi itu ada makhluk lain sudah ambil. Daripada RM4.7 bilion ini Tuan Yang di-Pertua, kita telah pinjamkan kepada PetroSaudi sebanyak RM1.7 bilion untuk mereka kemudiannya membeli tiga public companies yang ada kaitannya dengan keluarga Ketua Menteri Sarawak iaitu Loh & Loh, Putra Perdana dan UPG. Sehingga sekarang, saya difahamkan Petroldollar tidak bayar satu sen pun kepada 1Malaysia Development Board.
Tuan Saifuddin Nasution bin Ismail - Machang
Kalau itu tidak cukup memeranjatkan Tuan Yang di-Pertua, petrol company ini sebenarnya adalah 100 USD company dan ianya bukan satu sovereign wealth fund daripada Saudi, kedudukan kewangannya dipertikaikan. Anehnya, Perdana Menteri tahun lepas mengumumkan 1Malaysia Development Board ini mencatat keuntungan RM450 juta.
Saya akan susul isu ini pada hari-hari persidangan berikutnya dengan fakta dan angka yang jauh lebih menarik yang barangkali ini skandal yang juga lebih berat seperti mana skandal PKFZ juga.
Tuan Yang di-Pertua, indeks keamanan dunia meletakkan Malaysia sebagai kedua terbaik di dunia. Ini seperti tertera dalam teks ucapan Titah Tuanku. Sumbangan PDRM untuk mengurangkan kadar jenayah indeks itu cukup memberangsangkan mengikut statistik.
Di Machang Tuan Yang di-Pertua, kita ada 100,000 penduduk. Nisbah polis dengan penduduk ialah seorang polis jaga 550 penduduk Machang. Ini bukanlah nisbah yang baik, yang meyakinkan. Barangkali Menteri berkenaan boleh jenguk. Akan tetapi, bukan itu yang saya hendak sentuh Tuan Yang di-Pertua. Saya terpanggil untuk memberikan sedikit reaksi terhadap kenyataan Timbalan Perdana Menteri ketika diminta mengulas media berkaitan dengan peristiwa Ketua Pembangkang yang membantu kempen di Felda Jengka 2 yang dibaling batu.
Kata Timbalan Perdana Menteri yang saya petik daripada media arus perdana.
“Masyarakat FELDA sebenarnya menyampah dengan Anwar. Kejadian berlaku di kawasan mereka dan itu hak mereka.” Saya ulang. “Masyarakat FELDA sebenarnya menyampah dengan Anwar. Kejadian berlaku di kawasan mereka dan itu hak mereka.” Menggunakan logik Timbalan Perdana Menteri Tuan Yang di-Pertua, saya kira jika Timbalan Perdana Menteri datang ke Machang dan kalau orang Machang menyampah dengan TPM, kita boleh baling batu pada TPM. TPM jangan marah.
Dato' Mahfuz bin Haji Omar - Pokok Sena
Boleh punggai?
Tuan Saifuddin Nasution bin Ismail - Machang
Boleh punggai, boleh ‘tengalung’. Ini kenyataan yang tidak bertanggungjawab. Mana TPM boleh sebut sampai macam itu. Beza politik, bezalah. Kena ingat, dahulu kita pun berkawan tetapi takkanlah benci dan meluat sampai tara itu sehinggakan yang salah itu pun hang nak sokong. Tidak kena. Kalau kata TPM selepas ini pergi kawasan Pokok Sena, pergi ke Jabikah, Kebun 500 kah. Selepas itu ramai orang sana menyampah dengan dia. Bolehkah kita baling batu?
Dato' Mahfuz bin Haji Omar - Pokok Sena
Depa dok kutip batu dah.
Tuan Saifuddin Nasution bin Ismail - Machang
Dok kutip dah. Jadi, kena hati- hati. Kalau peralihan kuasa berjalan elok sebelah sana, dia akan jadi Perdana Menteri.
Kalau Perdana Menteri macam ini berat. Berat ini, berat.
Baik, kebelakangan ini kita bercakap soal kebangkitan Timur Tengah Tuan Yang di-Pertua. Banyak lah komen...
Dr. Mohd. Hatta Md. Ramli - Kuala Krai
Yang Berhormat Machang.
Tuan Saifuddin Nasution bin Ismail - Machang
Ya.
Dr. Mohd. Hatta Md. Ramli - Kuala Krai
Tuan Yang di-Pertua, sedikit sahaja.
Tidakkah Timbalan Perdana Menteri yang membuat kenyataan tersebut telah menarik balik kenyataan tersebut dan meminta maaf?
Tuan Saifuddin Nasution bin Ismail - Machang
Setakat pengamatan saya tidak ada. Saya fikir maaf tidak ada pun dalam kamus mereka. Pada dia kuasa, dia boleh buat apa sahaja. Akan tetapi, tidak apa. Saya hendak tengok mana tahu jadual dia mai ke Machang macam mana. Mai ke Temangankah, Berangan Mek Nabkah.
Dato' Mahfuz bin Haji Omar - Pokok Sena
Takut depa buat melontar Jamrah.
Tuan Saifuddin Nasution bin Ismail - Machang
Ya, itu kita tengok. Jadi, pihak polis jangan dok marah kami sebab kita ikut kaedah dan logik Timbalan Perdana Menteri.
Baik, Timbalan Perdana Menteri juga beri amaran, jangan ada pihak hasut rakyat supaya menggulingkan kerajaan. Menteri Penerangan pun sambut, Menteri Dalam Negeri pun beri amaran, dok bayang ISA pada pihak pembangkang yang hasut untuk gulingkan kerajaan.
Memang kerja pembangkang guling kerajaan. Seperti mana di Selangor, UMNO dan BN, dia khianat hendak gulingkan Kerajaan Negeri Selangor. Di Kedah, di Kelantan, di Pulau Pinang. Di Perak dia sudah gulingkan. Jadi, kita tengok ini lebih kepada sindrom denial, penafian, bimbang ketika satu dunia sedang mengucapkan tahniah kerana kebangkitan rakyat di Timur Tengah, pemimpin kita pula berhempas pulas cuba meyakinkan rakyat bahawa di sana tidak sama dengan di sini. Baik, apa yang ada di sana?
Hosni Mubarak Tuan Yang di-Pertua ada segala-galanya. Seluruh sistem negara dan kerajaan dalam genggamannya. Semua bentuk tentangan yang boleh dicabarnya dicantas. Aktivis politik yang tidak disukai dipenjarakan sewenang-wenang. Ikhwanul Muslimin pernah bertanding Tuan Yang di-Pertua. Parti pengganas tidak akan masuk pilihan raya tetapi mereka masuk. Akan tetapi Perdana Menteri anggap mereka ini pengganas.
Tokoh Islam terkemuka Dr. Sheikh Yusuf Qaradawi yang pernah kita beri anugerah Maal Hijrah, Sultan Kedah, Timbalan Yang di-Pertuan Agong yang tolong beri.
Dua tahun lepas. Baru-baru ini Perdana Menteri kita sebut, dia prihatin kerana kecenderungan Dr. Sheikh Yusuf Qaradawi menyokong keganasan. Ini saya fikir kesan daripada nasihat APCO Israel kepada Perdana Menteri dengan bayaran RM77 juta. Ini penyakitnya, tidak boleh tengok yang mana adil, yang mana zalim.
Ikhwan Muslimin masuk pilihan raya dan pernah menang. Bila menang, pemimpinnya ada yang difitnah, ditangkap tanpa bicara, disumbat dalam penjara. Kalau buka TV Mesir berita utama Hosni Mubarak. Berita kedua Susan, berita ketiga anaknya Jamal Mubarak. Itu sahaja, 40 minit pertama. Mesir diperintah di bawah undang-undang darurat sejak 1967. Pilihan raya ini dia menang sampai 95 peratus Tuan Yang di-Pertua.
Tuan Saifuddin Nasution bin Ismail - Machang
Tiada siapa yang boleh menyangka sebulan selepas itu, Hosni Mubarak hilang dalam pemerintahan dalam sekelip mata. Mesir hari ini, Mesir yang cukup berbeza. Hosni Mubarak, isteri dan keluarga lari tinggalkan negara mengikut jejak diktator yang pernah digulingkan rakyat Shah Irankah, Ferdinand Marcos kah, ramai. Pada waktu rakyat Mesir bangkit menuntut keadilan dan kebertanggungjawaban, seluruh aparatus kerajaan Mubarak kuasai. Pengendalian pilihan raya dipesongkan. Partinya menang besar dengan mudah.
Himpunan pembangkang tidak boleh. TV cuma Mubarak, surat khabar cuma Mubarak.
Pembangkang hendak buat program, permit. Tidak ada permit, polis sembur gas. Macam pernah dengar... [Disampuk] Itu tidak, tempat kita tidak berlaku keadaan ini.
Dato' Mahfuz bin Haji Omar - Pokok Sena
Tidak, salah Yang Berhormat.
Tuduhan yang melulu mengatakan Malaysia dengan Mesir ini sama. Sebenarnya memang tidak sama tetapi serupa.
Tuan Saifuddin Nasution bin Ismail - Machang
Terima kasih Yang Berhormat Pokok Sena. Sebab itulah ketika mengulas kebangkitan rakyat di Libya, Perdana Menteri menempelak Gaddafi kerana mengambil tindakan keras ke atas demonstran. Kata Perdana Menteri, Gaddafi seharusnya menghormati hak rakyat untuk berhimpun. Tuan Yang di- Pertua, untuk pertama kalinya saya bersetuju dengan Perdana Menteri. Hak rakyat untuk berhimpun. Sebab itu di sini Tuan Yang di-Pertua, pengalaman kami waktu kami menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong tiga tahun lepas di Istana Negara, himpunan BERSIH.
Kami disambut dengan baik, penuh budi bahasa oleh pasukan keselamatan.
Tidak ada gas, tidak ada air penyembur, tidak ada. Kemudian kami berhimpun lagi menentang ISA di Kuala Lumpur. Kami juga tidak menerima layanan keras itu kerana di negara kita Perdana Menteri sangat menghormati perhimpunan rakyat secara aman.
Sebab itu Perdana Menteri ada autoriti moral untuk menegur Gaddafi. Ini sangat kita hargai, sangat kita sanjung.
Saya berbeza dengan kawan-kawan saya PAS terutama Yang Berhormat Kuala Krai, kaki demo saya beza bab ini. Perdana Menteri memang boleh tegur Gaddafi kerana bertindak keras ke atas rakyat berdemonstrasi.
Dr. Mohd. Hatta Md. Ramli - Kuala Krai
Yang Berhormat Machang, saya mengakui sebahagian fakta itu betul tetapi sambutan yang dikatakan meriah itu sebenarnya sangat meriah. Tidak betul meriah itu, sangat meriah. Taburan bunga, air-air wangi. Jadi, memang layak Perdana Menteri bercakap. Hotel sementara, makan free. Apakah nama hotel itu? Lokapkah apa nama hotel itu. Jadi, saya bersetuju dengan Yang Berhormat Machang, jangan kata saya tidak bersetuju. Tolong tambah lagi.
Tuan Yang di-Pertua
Sebelum Yang Berhormat Machang respons, saya ingin membuat satu pengumuman.
Ahli-ahli Yang Berhormat, Dewan ini mengalu-alukan kehadiran delegasi Ahli-ahli ASEAN Committee of the German Parliament yang diketuai oleh Honorable Dr. Thomas Gambke, Member of Parliament... [Tepuk] Semoga kehadiran beliau dan delegasi pada hari ini akan dapat mengeratkan lagi persahabatan dan hubungan baik institusi perundangan kedua-dua negara. Welcome. Sila.
Tuan Saifuddin Nasution Ismail - Machang
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua dan terima kasih Yang Berhormat Kuala Krai.
Tuan Yang di-Pertua, memanglah kebelakangan ini pimpinan negara bersungguh- sungguh cuba memaklumkan kepada rakyat keadaan tidak sama. Memang waktu mula tercetus kebangkitan rakyat di Tunisia, Mubarak kata, “Ini Mesir, tidak sama Tunisia.” Di Yaman, Omar Abdullah Salleh pun kata, “Ini Yaman, bukan Tunisia.” Begitu juga kata Gaddafi. Hari ini kita dengar pemimpin-pemimpin Barisan Nasional pun begitu nadanya.
Lalu dikemukakan soal kemiskinan, pengangguran dan sebagainya tetapi yang ditentang oleh rakyat di sana adalah undang-undang draconian, repressive law, ruang demokrasi yang lebih terbuka.
Tuan Saifuddin Nasution Ismail - Machang
Ini sebenarnya yang membangkitkan dan pimpinan atasan yang membolot kekayaan negara semahu-mahunya. Kehidupan dan kebajikan rakyat tidak terjaga. Apabila mereka mengenakan tindakan keras, rakyat terus bangkit. Semalam Al-Jazeera melaporkan Gaddafi menggunakan cara lembut. Dia tawarkan setiap rakyat silalah pergi ke bank dan ambil USD500 setiap keluarga. Mula-mula tembak, rakyat bangkit, sekarang tidak tembak, pergi ke bank, kerajaan bagi USD500 satu keluarga hendak redakan tentangan. Maknanya dia gunakan pendekatan at-Targhib wa at-Tarhib - punish and reward. Kecuali rakyat yang menguasai bank Ghazi, rakyat lain ambil, rakyat yang menguasai bank Ghazi tidak terima.
Serupa sahaja kaedahnya kalau kita tengok di sini.
Gaddafi juga sebut, “Saya akan terus mempertahankan kuasa saya di Libya, biar hancur badan di kandung tanah, berkecai tulang.” Macam pernah dengar juga sebenarnya... [Ketawa] Macam...
Tuan Dr. Mohd. Hatta bin Md. Ramli - Kuala Krai
Yang Berhormat Machang, minta penjelasan.
Tuan Saifuddin Nasution Ismail - Machang
Akan tetapi di mana ya? Ya, sila.
Tuan Dr. Mohd. Hatta bin Md. Ramli - Kuala Krai
Saya rasa munasabahlah kalau datang daripada pimpinan UMNO bawahan, tetapi saya ada dengar seorang Menteri kalau tidak silap dalam pilihan raya kempen di Merlimau, “Kita akan mempertahankan Perdana Menteri ini sampai mati.” Macam mana itu ya? Mati betulkah, mati simbolik?
Tuan Saifuddin Nasution Ismail - Machang
Yang saya tahulah mati syahid ini memang jadi kecintaan kita, sebab itu dalam hadis Nabi disebut... [Membaca sepotong ayat] “Mati kerana mempertahankan harta, mati syahid; mati kerana mempertahankan agama, mati syahid; mati kerana mempertahankan maruah, mati syahid; mati kerana mempertahankan keluarga, mati syahid.” Ini hadis Nabi. Mati kerana mempertahankan presiden parti ini saya tidak jumpa lagi bab itu... [Ketawa]
Tuan Chua Tian Chang @ Tian Chua - Batu
Ya Yang Berhormat Machang, saya hanya hendak ingatkan Yang Berhormat Machang jangan terlupa tentera kita yang bersikap profesional. Jangan kita semasa membuat perbandingan ini hanya membandingkan orang-orang politik sahaja, tetapi tentera kita seperti tentera di Mesir dan di Libya dan sebahagian besar mereka. Selepas Menteri Pertahanan menyatakan akan membuat persiapan bagi pihak tentera untuk mengambil tindakan terhadap sesiapa yang cuba mewujudkan kekacauan.
Saya rasa kita harus puji tentera ke luar untuk menyatakan seperti mereka yang bertindak di Mesir dan juga di negara-negara Timur Tengah yang lain mengatakan mereka profesional. Mereka tidak akan melibatkan diri dalam isu-isu politik dan tidak memihak kepada mana-mana parti. Saya harap itu harus ditegaskan dan harus kita mengucapkan kesyukuran kita terhadap pendirian tentera.
Tuan Saifuddin Nasution Ismail - Machang
Terima kasih rakan saya dari Batu.
Sambutan Hari Angkatan Tentera - saya terbaca kenyataan Panglima Angkatan Tentera, sambutan di Sungai Besi beberapa hari lepas yang menyebut bahawa tentera di negara kita peka politik tetapi mereka tidak menjadi alat politik. Mereka katanya serve the king and the country, kita tidak ada keraguan dari segi itu. Oleh sebab itulah ini juga yang berlaku di sana.
Tuan Yang di-Pertua, sememangnya kebelakangan ini Parti Keadilan khususnya digambarkan sebagai satu komponen yang menjadi liabiliti kepada Pakatan. Perdana Menteri pun mengeluarkan kenyataan begitu sehari dua ini. Ia digambarkan kerana ramainya pemimpin Keadilan keluar parti sejak awal penubuhan. Disebutlah namanya - Ezam, Zainol Zakaria, Chandra Muzaffar, Marina Yusof dan segala macam. Benar mereka pernah bersama-sama menubuhkan Parti Keadilan.
Cuma waktu mereka ada Tuan Yang di-Pertua, Keadilan cuma menang satu kerusi, bila mereka keluar alhamdulillah, Keadilan dapat 31 Kerusi Parlimen, 43 Kerusi Dewan Negeri. Jadi kemudian ada lima, enam orang keluar, kita pertahankan. Manusia waktu diuji dengan kesusahan hidup biasanya lulus, tetapi kalau diuji dengan kesenangan, jarang yang lulus. Tawaran ini, habuan ini terlalu besar hendak ditolak.
Tuan Saifuddin Nasution Ismail - Machang
Kita sebut, lalu kita selalu ditanya mana bukti, mana buktinya?
Tuan Yang di-Pertua, enam daripada sahabat-sahabat saya telah keluar meninggalkan parti, menyerang. Parti ini telah meninggalkan perjuangan bela agama, bangsa dan negara. Parti ini dipimpin pengkhianat, parti ini dipimpin oleh seorang ketua yang bercita-cita hendak menjadi Perdana Menteri walau apa cara sekali pun. Parti ini menganiaya orang India, parti ini segala macam sebagai alasan keluar. Yang tidak di cerita apa dia?
Bila berada dalam barisan pembangkang khususnya Keadilan, ini bukan lesen hendak kaya. Kalau hidup pendapatan RM10, jangan belanja RM100. Ketidakupayaan untuk top-up lagi RM90 menyebabkan kadang-kadang kita tewas dengan ujian.
Dato' Seri Haji Azmi Khalid - Padang Besar
Boleh izin?
Tuan Saifuddin Nasution Ismail - Machang
Sekejap ya Yang Berhormat Padang Besar, saya bagi.
Oleh sebab itu Tuan Yang di-Pertua, pada saya ini ada dua keping cek - salinan cek yang ditandatangani oleh salah seorang daripada enam kawan lama saya. Satu cek RM700,000 - 12 Januari, satu cek 15 Mac, post-dated cheque. Tujuannya apa? Bayar harga tanah RM1.5 juta, ada alamatnya. Alamatnya sahih, tertera. Kita peganglah sebab baru dapat sat ni, fresh from the oven. Ini bukti paling terang. Kita hendak tengok bila kita dedah nanti, Lembaga Hasil Dalam Negeri pergi cari atau tidak, SPRM pergi cari atau tidak.
Selama duduk sebelah sini, kenapa aku tidak dapat itu, kenapa tidak dapat ini? Ini bukan parti untuk jadi kaya, keluar dan serang kita Tuan Yang di-Pertua, RM1.4 juta boleh bayar dalam masa dua bulan. Dari mana duit ini? Mai mana, duit ini mai mana? Itu cerita dia.
Dato' Seri Haji Azmi Khalid - Padang Besar
Lupakah saya ini?
Tuan Saifuddin Nasution Ismail - Machang
Sat, sat. Sat Yang Berhormat Padang Besar, saya ingat Yang Berhormat Padang Besar. Oleh sebab itu Tuan Yang di- Pertua, kita beritahu itu adalah - ini baru satu, ada lagi ini. Akan tetapi kalau bercakap dalam TV, surat khabar, parti Keadilan telah lari dari landasan perjuangan sebab itu kami keluar dan ini mesti ditentang, penentangan terhadap Ketua Pembangkang satu jihad. Alih- alih RM1.4 juta boleh bayar tanah, mai mana duit ini? Harta karun, harta ‘Ismet Ulam Raja’ di luar negara? Baik Yang Berhormat Padang Besar, sila.
Dato' Seri Haji Azmi Khalid - Padang Besar
Terima kasih. Tuan Yang di-Pertua, saya terpanggil untuk bertanya sebab gambaran yang diucapkan oleh sahabat saya daripada Machang ini seolah-olah negara kita ini fasis. Saya terpanggil kerana ada tetamu daripada negara asing. Kalau dia tidak tahu apa keadaan sebenar yang berlaku dalam negara, mungkin gambaran Yang Berhormat Machang sebut tadi seolah-olah itulah gambaran yang mereka dapat. Kemungkinan yang di belakang sana pun daripada kakitangan kerajaan...
Dato' Haji Mahfuz bin Omar - Pokok Sena
PAClah kena beritahu.
Dato' Seri Haji Azmi Khalid - Padang Besar
Minta maaf, ya tidak mengapa.
Seolah-olah... Akan tetapi kalau kita turun ke bawah banding dengan negara-negara Middle East, akhbar-akhbar pembangkang tidak begitu bebas macam di negara kita. Di rata-rata, pergilah Suara Rakyatnya, Suara Keadilannya, Harakahnya, bermacam-macam. Tujuannya untuk membangkitkan rakyat kalau boleh hendak ditiru seperti di Middle East.
Dato' Seri Haji Azmi Khalid - Padang Besar
Akan tetapi ini tidak berlaku kerana kita tidak menutup semangat rakyat yang kalau dia menentang, kita izinkan dia tentang. Seperti kita tutup periuk kita yang memasak air, kalau kita tutup pressure cookernya akan meletup tetapi kita tidak. Kebebasan berkempen, banyak yang hadir mendengar kempen pembangkang. Saya sendiri pergi tengok dan mendengar di merata kawasan tetapi mereka yang mendengar akan membuat keputusan dan apabila keputusan memihak kepada Barisan Nasional, yang ada di sana itu mengatakan kita bermacam-macam yang tidak betul.
Dato' Seri Haji Azmi Khalid - Padang Besar
Jadi saya hendak bertanya kepada Yang Berhormat Machang apakah gambaran Yang Berhormat Machang berikan itu satu gambaran yang betul-betul ikhlas?
[Timbalan Yang di-Pertua (Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar)
mempengerusikan Mesyuarat] Tuan Saifuddin Nasution Ismail - Machang
Baik, terima kasih Yang Berhormat Padang Besar. Tuan Yang di-Pertua, terima kasih. Ini sahabat lama saya Yang Berhormat Padang Besar, kebetulan semasa saya duduk dalam Jawatankuasa UMNO bersama Dato’ Seri Zaki Bin Tun Azmi, ada kes Yang Berhormat Padang Besar kita dengar, dahulu tetapi lepas. Tidak sabit... [Dewan riuh] Memang di negara kita ini kebebasan lumayan, sebab itu permit Suara Keadilan apabila bercerita pasal FELDA tidak dikacau apa-apa. Hari ini kita boleh keluar macam biasa, tidak ditarik oleh KDN, cukup lumayan kan kebebasannya?
Seorang Ahli
Cakap... [Bercakap tanpa menggunakan pembesar suara]
Tuan Saifuddin Nasution Ismail - Machang
Sorry, cakap terbalik... [Ketawa] Kadang-kadang susah, cakap direct mereka tidak faham.
Suara Keadilan kita keluar berita, bukan besar circulation kita 100,000, 120,000 bergantung kepada tajuk tetapi apabila cerita pasal FELDA bankrap terus KDN tarik dan itu maknanya kebebasan. Kawan saya Zunar, talent dia yang Tuhan bagi melukis kartun...
Dato' Seri Haji Azmi bin Khalid - Padang Besar
Walaupun ditarik Yang Berhormat, di pasaran hari ini penuh dengan Suara Keadilan... [Ketawa]
Tuan Saifuddin Nasution Ismail - Machang
Tuan Yang di-Pertua, floor saya.
Timbalan Yang di-Pertua - Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar
Yang Berhormat, ingat peraturan Yang Berhormat.
Tuan Saifuddin Nasution Ismail - Machang
Rakan saya Tuan Yang di-Pertua.
Zunar, anugerah Tuhan bagi kepadanya bakat melukis kartun, kena tangkap dan dibawa dari satu lokap polis ke lokap polis yang lain, lima, enam lokap polis, kena harass. Ini makna kebebasan? Seorang penulis buku Kim Quek tajuk apa, Road to Putrajaya. Buku kena banned, ini kebebasan, kebebasan apa?
Sebab itulah saya tidak marah tetapi saya cuma sebut melainkan kalau ada maklumat di sebelah sana mengatakan tidak buku Kim Quek, Road to Putrajaya tidak haram, buku kartun Zunar membahayakan keselamatan negarakah, kartun? Kartun ini membahayakan keselamatan negara mana?
Tuan Khalid Abd. Samad - Shah Alam
Pasal kerajaan pun kartun. Boleh saya minta laluan? Apabila buku kartun, dia mencabar kerajaan kartun kerana apabila kerajaan kartun dia haramkan buku kartun. Tunggu floor Yang Berhormat Pasir Salak.
Dato' Haji Tajuddin Abdul Rahman - Pasir Salak
Kena tarik balik itu. Tuan Yang di-Pertua, itu menghina kepada kerajaan pula kartun, apa Yang Berhormat Shah Alam ini?
Timbalan Yang di-Pertua - Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar
Duduk Yang Berhormat. Tidak mengapa Yang Berhormat.
Tuan Khalid Abd. Samad - Shah Alam
Okey, saya tarik balik, kerajaan tidak kartun... [Ketawa]
Dato' Haji Tajuddin Abdul Rahman - Pasir Salak
Biar orang PAS hina pun menghina tidak mengapalah.
Timbalan Yang di-Pertua - Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar
Tidak mengapa Yang Berhormat, duduk dahulu. Cakap seorang demi seorang Yang Berhormat.
Dato' Shamsul Anuar bin Haji Nasarah - Lenggong
Tidak berdosa.
Dato' Haji Tajuddin Abdul Rahman - Pasir Salak
Menggunakan perkataan, kata kerajaan kartun. Ini contoh parti PAS bagus.
Tuan Khalid Abd. Samad - Shah Alam
[Ketawa] Terima kasih Yang Berhormat Machang. Saya sebenarnya bersetuju dengan Yang Berhormat Padang Besar bahawa hendak bandingkan Mesir, Libya dan Tunisia dengan Malaysia memang banyaklah perbezaan. Akan tetapi pada dasarnya, basic principle ada juga banyak persamaan dan walaupun kita ada sedikit kebebasan yang lebih sedikit berbanding dengan di Mesir, di mana Ikhwan tidak boleh bertanding sebagai satu parti, di sini PAS boleh, PKR boleh dan sebagainya tetapi hakikatnya ianya bukan merupakan satu padang yang sama rata. Saya rasa tidak ada mana-mana pihak yang boleh menafikan bahawa agen untuk menyebarkan maklumat yang terpenting dan yang paling berkesan adalah televisyen. Di sini, Kerajaan Negeri Selangor dahulu apabila mula-mula menang, Pakatan Rakyat kita ada radio, ini bukan TV lagi, belum televisyen lagi, Radio Selangor. Menteri Besar minta izin hendak berucap sekali seminggu satu jam sahaja kalau tidak silap saya, satu jam atau setengah jam, sekali seminggu.
Apa yang berlaku, Radio Selangor itu yang merupakan agensi Kerajaan Negeri Selangor pada asalnya keluar dan pindah daripada bangunan kerajaan dan duduk di Wilayah Persekutuan kerana tidak hendak memberi peluang penjelasan. Lalu di sini hakikatnya Barisan Nasional merupakan satu kerajaan yang hendak kekal dominasinya dan kekuasaannya ke atas rakyat dan tidak mahu mengiktiraf hak rakyat untuk mendapat maklumat yang tepat daripada semua pihak dan selepas itu membuat keputusan.
Mana mungkin akhbar Suara Keadilan, Harakah atau Rocket hendak menandingi keberkesanan televisyen yang masuk dalam setiap satu rumah. Kita ada berapa ratus sahaja circulation kita, paling banyak pun 200,000 sedangkan televisyen ini masuk dalam hampir setiap satu rumah sampai ke rumah panjang, yang paling hulu di Sarawak ada TV.
Orang Iban long house tidak adalah itu. Bukan apa, Blackberry tidak ada, tidak sama, mahal.
So, saya rasa Kerajaan Malaysia sepatutnya mengambil pengajaran daripada apa yang sedang berlaku di Timur Tengah, hormat rakyat, berikan kebebasan, berikan semua pihak untuk menyampaikan sikap, pendirian dan penjelasan. Biar rakyat pilih dan jangan cuba hendak kongkong rakyat, hendak corakkan pemikiran rakyat seperti mana yang berlaku sekarang ini. Apa pandangan Yang Berhormat Machang?
Tuan Saifuddin Nasution Ismail - Machang
Terima kasih rakan saya Yang Berhormat Shah Alam. Saya tidak ada sebarang perbezaan pendapat dalam konteks capaian terhadap media bebas yang sebenarnya di negara kita masih belum begitu dirasai berbanding dengan negara jiran kita seperti Indonesia misalnya.
Tuan Yang di-Pertua, saya beralih kepada tajuk Petronas. Pertumbuhan 0.2 peratus dalam sektor perlombongan yang berkait rapat dengan isi minyak dan gas negara, pengurusan dan tata kelola yang kukuh dalam industri minyak dan gas sangat penting memandangkan kedudukan strategik Petronas sebagai pemacu kemajuan negara. Jasa dan peranan Petronas tidak boleh kita persoal lagi. Kemampuan Petronas mengambil pendekatan strategik bersaing di peringkat antarabangsa untuk menambah rizab minyak dan gas negara telah meletakkan Petronas di landasan yang baik sebagai salah sebuah gergasi minyak dan gas dunia.
Saban tahun sebelum ini kita mendengar berita gembira bagaimana perolehan keuntungan yang disumbangkan oleh operasi luar negara Petronas semakin meningkat.
Secara langsung ia memberi jaminan kepada rakyat Malaysia bahawa kita berjaya mengurangkan kebergantungan kepada rizab minyak dan gas dalam negara yang dijangka akan susut antara 20 tahun bagi minyak mentah dan 34 tahun bagi gas. Strategi Petronas mengimbangi pelaburan modalnya di dalam dan di luar negara dipersetujui rakyat dan ia juga menjadi lambang kebanggaan rakyat Malaysia apabila Petronas menjadi rakan pintar membangunkan negara lain seperti Sudan, Vietnam, Turkmenistan dan Chad.
Kebelakangan ini Tuan Yang di-Pertua, ada satu peralihan dasar yang cukup membimbangkan dan kita persoalkan hala tuju pelaburan Petronas. Dalam suasana Petronas menghadapi keadaan tidak menentu akibat referendum di Sudan yang memilih untuk memisahkan Sudan Selatan dari Persekutuan Kerajaan di Utara, Petronas pula mengambil tindakan drastik mahu menumpukan operasi cari gali dan pelaburan dalam negara.
Tuan Saifuddin Nasution Ismail - Machang
Saya mohon supaya Perdana Menteri sudi apa kiranya menjelaskan kepada Dewan apakah kesan perkembangan di Sudan kepada perolehan dan keuntungan Petronas, memandangkan lapangan minyak di Sudan adalah lapangan minyak luar negara terbesar yang diusahakan oleh Petronas. Dianggarkan 1/3 daripada operasi minyak mentah Petronas di luar negara datangnya dari lapangan-lapangan minyak di Sudan.
Saya juga memohon supaya Dewan membahaskan dengan mendalam pengumuman terbaru Petronas menganugerahkan kontrak perkhidmatan petroleum kepada sebuah konsortium yang dianggotai oleh Petrofac sebuah syarikat minyak asal United Kingdom, Kencana Petroleum milik anak bekas Perdana Menteri dan SapuraCrest Petroleum untuk membangunkan lapangan gas berantai yang membabitkan pelaburan RM2.5 bilion.
Tuan Saifuddin Nasution Ismail - Machang
Berbeza dengan kontrak perkongsian pengeluaran yang biasa digunakan sejak Petronas ditubuhkan, sehingga kini rakyat belum mendapat maklumat jelas apakah bentuk risiko dan pelaburan yang akan ditanggung oleh Petronas memandangkan kedua-dua syarikat tempatan di dalam konsortium adalah syarikat berkepentingan yang mempunyai hubungan rapat dengan elit pemerintah di negara ini. Kita juga mempersoalkan bagaimanakah dua buah syarikat yang tidak pernah terbabit dalam operasi cari gali dan pengeluaran gas tiba-tiba diberikan peluang menyertai konsortium terbabit dalam keadaan rakyat tidak pasti apakah bentuk imbuhan kewangan yang diberikan oleh Petronas kepada mereka.
Perkara-perkara ini menimbulkan tanda tanya mengenai tahap tata kelola dan pengurusan di Petronas sejak akhir-akhir ini selepas campur tangan dari pejabat Perdana Menteri yang mengakibatkan pucuk pimpinan di Petronas bertukar. Masa depan negara berkait rapat dengan Petronas. Sewajarnya perubahan-perubahan dasar yang besar ini dibincangkan dengan mendalam di Dewan Rakyat agar kepentingan rakyat terjaga.
Tuan Yang di-Pertua, ketidaktelusan projek mega di bawah ETP. Tuan Yang di- Pertua, Perdana Menteri menjanjikan ketelusan dan kebertanggungjawaban dalam pengurusan ekonomi dan kewangan negara dalam semua kempen yang menelan belanja yang besar. Paling kurang, beliau faham bahawa rakyat memerhatikan kesungguhan beliau memerangi rasuah dan memastikan wang rakyat tidak disonglap oleh golongan elit pemerintah. Memang benar ada beberapa bekas menteri yang kini dihadapkan ke mahkamah dan kita menunggu keadilan diberikan kepada rakyat Malaysia yang terpaksa menanggung bebanan hutang berbelas bilion akibat pimpinan negara yang dengan mudah sahaja boleh ditipu oleh menteri-menteri yang dilantik Perdana Menteri.
Tuan Azan Ismail - Indera Mahkota
Yang Berhormat Machang.
Tuan Saifuddin Nasution Ismail - Machang
Ya. Sekejap ya. Dua bekas menteri.
Pemimpin tertinggi MCA. Apa charge yang dikenakan di mahkamah? Menipu. Cheating Perdana Menteri. Kata hebat sangat Perdana Menteri. Rupanya boleh kena tipu macam itu sahaja. Yang dituduhnya kita. Pemimpin Melayu PAS, pemimpin Melayu Keadilan ini katanya kuda tunggangan. Kuda tunggangan orang Cina, kuda tunggangan DAP segala macam. Alih-alih yang tipu MCA. MCA tipu Presiden UMNO... [Disorak] Ya. Ini apa cerita?
Ya, baik. Sila, Yang Berhormat Indera Mahkota.
Tuan Azan Ismail - Indera Mahkota
Terima kasih Yang Berhormat Machang.
Saya agak mulanya terkeliru tetapi hampir-hampir dapat memahami keseluruhan puzzle itu dengan izin. Nampaknya makin jelas. Baru beberapa minggu lepas ada satu laporan yang dikeluarkan. Bukan dalam negara kita, Yang Berhormat Machang. Dikeluarkan oleh Global Financial Integrity yang berpangkalan di luar negara. Kalau dalam negara sudah tentu berita ini tidak mungkin dapat sampai ataupun dapat kepada pengetahuan kita atau kefahaman kita. Dia melaporkan pada pemerhatian mereka, ada munasabah dan logiknya berlaku penyelewengan ataupun melarikan. Dalam istilah melarikan hasil kerajaan berjumlah RM889 bilion untuk satu tempoh jangka masa yang kita sendiri pun tidak pasti.
Menyentuh tentang apa yang Yang Berhormat Machang sebutkan satu persatu tadi. Bermula dengan kedudukan Petronas. Aktiviti-aktiviti pelaburan luar negara yang meragukan. Dengan laporannya tidak pernah dibentang kepada Parlimen dan sebagainya.
Tuan Azan Ismail - Indera Mahkota
Tidak perlu kita ambil kira wang tunai yang dijumpai di atas lantai sebuah apartment yang didiami oleh seorang yang bertaraf cuma pembantu kepada Menteri sahaja.
Beberapa juta ringgit wang tunai. Tidak perlu kita ambil kira contoh ini. Ini menunjukkan bahawa kita sedang menuju kepada satu era pentadbiran yang cukup menyedihkan. Saya tidak mahu sebut kerana kita ada wakil daripada luar negara yang bersama dengan kita tetapi hakikat yang pahit ini kita perlu sebut.
Saya rasa Yang Berhormat Machang perlu juga menyatakan pandangan beliau terhadap apa yang saya bawakan ini termasuk terutamanya yang disebut oleh Global Financial Integrity kerana angka itu tidak pernah kita dengar sebelum pada hari ini. Tidak pernah langsung. Selepas 50 tahun, inilah kali pertama saya mendengar pelarian wang atau wang yang dikeluarkan baik secara haram atau sebagainya berjumlah begitu besar.
Hampir RM1 trilion. Adakah perkara ini stigma yang kita hendak teruskan selama-lamanya dalam suasana, orang kata mendayung politik kita untuk zaman baru ini?
Dr. Dzulkefly Ahmad - Kuala Selangor
Sikit, Yang Berhormat Machang.
Tuan Azan Ismail - Indera Mahkota
Terima kasih.
Dr. Dzulkefly Ahmad - Kuala Selangor
Sikit, Yang Berhormat Machang.
Sambung sikit sahaja. Baik, terima kasih Tuan Yang di-Pertua dan terima kasih Yang Berhormat Machang. Tumpang sikit sahaja ini.
Kalaulah dua pimpinan – bekas pimpinan ataupun pimpinan MCA boleh diheret sedemikian dan sedang dihadapkan ke mahkamah, apakah pimpinan UMNO sendiri yang disebut-sebut seorang Bendahari UMNO dan juga seorang ADUN UMNO Selangor yang terlibat dan namanya telah pun disebut-sebut dalam beberapa siasatan yang dibuat.
Sehingga hari ini tidak diheret ke mahkamah. Apakah kita akan menyaksikan MCA dimangsakan sementara UMNO dilepaskan, Yang Berhormat Machang? Terima kasih.
Tuan Saifuddin Nasution Ismail - Machang
Itulah Tuan Yang di-Pertua...
Puan Hajah Nancy Shukri - Batang Sadong
Yang Berhormat Machang, boleh minta juga laluan sekejap?
Tuan Saifuddin Nasution Ismail - Machang
Ya, sila.
Puan Hajah Nancy Shukri - Batang Sadong
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua dan terima kasih Yang Berhormat Machang. Saya amat tertarik mendengar perbincangan tadi. Jadi saya pun hendak bertanya dengan Yang Berhormat Machanglah. Ini kerana kita memang kebelakangan ini kita mendengar orang ini diheret ke mahkamah, parti politik ini diheret ke mahkamah. Bukankah itu merupakan satu petanda yang positif yang berlaku di Malaysia ini, di mana kita transparent dalam cara mana kita tidak mengganggu institusi mahkamah ataupun polis yang selama ini kita mendengar dikatakan mereka ini adalah orang-orang yang menjadi dalang kepada parti kerajaan.
Jadi di sini bukankah ini merupakan satu kebebasan untuk mereka mengambil tindakan? Jadi kalau orang UMNO ataupun orang Barisan Nasional diambil tindakan, kita tidak berbunyi. Namun adakah adil bagi kita hendak finalize, dengan izin, kalau parti lain yang diambil tindakan? Jadi kita seolah-olah mengatakan mereka ini hanya menyebelahi kepada pihak-pihak yang tertentu sahaja? Jadi minta penjelasan. Terima kasih.
Tuan Saifuddin Nasution Ismail - Machang
Terima kasih rakan saya Yang Berhormat Batang Sadong, Yang Berhormat Kuala Selangor dan Yang Berhormat Indera Mahkota. Hal yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Indera Mahkota Tuan Yang di-Pertua ialah soal aliran keluar wang haram sebanyak RM888 bilion antara tahun 2000 hingga 2008 seperti dilaporkan oleh Global Financial Integrity yang memetik data rasmi yang diumumkan oleh Bank Negara Malaysia dari semasa ke semasa.
Ketirisan wang dan modal ini disembunyikan dari pihak berkuasa kerana ia selalunya bersabit sumber rasuah, kecurian dan pengelakan cukai. Modal ini diterima pakai di seluruh dunia. Namun ada seorang Timbalan Menteri baru-baru ini menyanggah dan mempersoalkan kesahihan modal ini. Ya, itu kita akan teliti terus.
Tuan Saifuddin Nasution Ismail - Machang
Rakan saya dari Kuala Selangor membangkitkan soalan, apakah yang kena itu cuma pemimpin dari komponen Barisan Nasional? Ini isu selective prosecution dan selective investigation, dengan izin. Saya tidak berbeza pendapat dengan Yang Berhormat Batang Sadong rakan saya, soal kalau hendak dilihat dari sudut bahawa ini menunjukkan kesungguhan kerajaan mengambil tindakan tidak kira bulu, tidak kira pangkat, tidak kira parti. Cuma kita hendak ingatkan balik, sebelum pilihan raya 2008 dulu pun ada dibuat ke atas seorang Menteri dari Sabah. Charge, riuh rendahlah chargenya. Lepas pilihan raya, bebas. Jadi, itu masih lagi berputar dalam kepala kita dalam cuba memahami tindakan ini.
Tuan Yang di-Pertua, saya bimbang...
Tuan Khalid Abd. Samad - Shah Alam
Yang Berhormat Machang.
Tuan Saifuddin Nasution Ismail - Machang
Sekejap Yang Berhormat Shah Alam. Saya hendak habiskan satu ini. Sedikit saja. Saya bimbang dengan pengumuman- pengumuman besar yang dibuat oleh Perdana Menteri kebelakangan ini yang melibatkan hampir RM100 bilion wang rakyat melalui projek mega yang disenarai hitam sebagai projek EPP. Pada mulanya Barisan Nasional mengaburi mata rakyat bahawa kononnya projek ini akan dibiayai swasta. Namun senyap-senyap menganugerahkan kontrak kepada syarikat tertentu yang akhirnya akan dibiayai seluruhnya oleh dana rakyat. Kita perlu berwaspada dengan terma-terma baru yang digunakan oleh pentadbiran ini.
Yang terkini adalah projek delivery partner atau rakan pengurus projek yang sebenarnya adalah nama baru untuk menganugerahkan projek mega kepada kroni dengan menggunakan wang rakyat. Bagaimana konsep PDP ini berbeza dengan pelbagai konsep yang menyelewengkan wang rakyat sebelum ini? Sebuah syarikat berkepentingan membelanjakan wang mereka, menyiapkan satu cadangan, kemudian cadangan itu dibawa kepada kerajaan. Kerajaan bersetuju, akhirnya menganugerahkan projek yang dicadangkan itu untuk diuruskan sepenuhnya oleh syarikat kroni terbabit, akan tetapi dibiayai oleh wang rakyat. Ini kaedah baru.
Tuan Saifuddin Nasution Ismail - Machang
Syarikat kroni kononnya akan mengadakan tender terbuka dalam menguruskan projek, akan tetapi dalam pemilihan PDP langsung tidak melalui tender terbuka. Oleh demikian saya cukup gusar dengan anggaran kos projek MRT yang dikatakan mencecah RM50 bilion yang dianugerahkan kepada Gamuda MMC.
Pertamanya tidak ada jaminan kos tersebut sudah disemak secara bebas dan telus. Tidak ada jaminan bahawa bayaran komisen beberapa peratus, 10 peratus, 20 peratus telah pun dimasukkan ke dalam jumlah keseluruhan RM50 bilion. Memandangkan kerajaan menerima bulat-bulat cadangan projek dan kos yang dibentangkan Gamuda MMC.
Begitu juga aspek tata kelola pemilihan sub-kontraktor. Apabila konsortium Gamuda MMC sendiri yang akan terbabit di dalam beberapa pakej bawah tanah yang menelan sebahagian besar kos pembinaan MRT. Hanya di Malaysia yang mana sebuah syarikat yang akan membida diberi tanggungjawab menjadi penyelia proses bidaan. Tidak ubah seperti seorang hakim, polis dan penghukum semuanya dipusatkan di dalam satu tangan.
Oleh itu kita perlu berwaspada dengan tiga pengumuman projek mega di bawah ETP yang langsung tidak menghormati suara rakyat yang menuntut kebertanggungjawaban dan ketelusan dalam pengurusan wang rakyat. Projek itu adalah pembinaan MRT yang menelan belanja RM50 bilion dan dianugerahkan kepada Gamuda MMC, projek river of life yang menelan belanja RM8 bilion dan telah dianugerahkan kepada MRCB dan Ecovest serta Pembangunan Semula Hartanah Sungai Besi yang dilaporkan menelan belanja RM26 bilion dan dianugerahkan kepada 1Malaysia Development sebuah lagi syarikat berkepentingan yang saya sebutkan awal tadi.
Melalui konsep PDP yang secara jelas akan menggunakan wang rakyat sebanyak RM84 bilion wang rakyat digunakan. Jika kerajaan menerbitkan bon sebanyak RM84 bilion lagi untuk menampung projek ini bermakna sepuluh generasi akan datang menanggung hutang. Ini tidak termasuk jumlah hutang sedia ada yang ditanggung oleh 20 GLC dan dijamin kerajaan. Sebanyak RM84 bilion pada akhir 2009 seperti yang terkandung dalam laporan terkini Ketua Audit Negara.
Tuan Saifuddin Nasution Ismail - Machang
Makanya yang berubah hanyalah Perdana Menteri dan kabinet serta istilah-istilah baru untuk mengaburi rakyat. Bobrok dan penyelewengan wang rakyat terus berlaku.
Bezanya jumlah sudah meningkat berkali ganda.
Tuan Yang di-Pertua, disebut oleh pemimpin Barisan Nasional kenaikan harga barang tidak ada kena mengena dengan kerajaan. Ini adalah fenomena dunia. Saya cukup tercuit apabila melihat rakan-rakan dari Barisan Nasional gundah gulana setiap kali rakyat menimbulkan isu barang naik kerana BN sudah sinonim dengan barang naik di mata rakyat.
Namun saya mohon supaya kerajaan memainkan peranan yang lebih proaktif menangani masalah inflasi yang dihadapi rakyat kerana kadar inflasi sebuah negara dan kemampuan rakyat berbelanja berdasarkan pendapatan boleh belanja.
Adalah tanggungjawab kerajaan mengikut dasar ekonomi yang ditetapkan. Contoh apabila rakyat terpaksa membayar 70 peratus cukai ke atas setiap buah kereta yang dibeli sudah tentu pendapatan boleh belanja rakyat akan merosot kerana menanggung bayaran tetap yang tinggi bagi perumahan dan kenderaan setiap bulan. Apabila kerajaan membuat keputusan untuk menarik balik sejumlah RM1 hingga RM2 bilion subsidi bahan api dan makanan kepada rakyat, sedangkan RM84 bilion diperuntukkan untuk projek mega, sudah tentu harga barang akan naik mendadak.
Apabila kerajaan sehingga kini belum berjaya mencapai sasaran pengurangan import makanan, walaupun lebih RM10 bilion dibelanjakan untuk pelbagai tabung keselamatan makanan sejak 2000 sudah tentu negara akan terus bergantung kepada import makanan dan dipengaruhi turun naik harga komoditi dunia. Akan tetapi dalam ketiga- tiga contoh yang saya berikan tadi, kerajaan persekutuan boleh mengambil tindakan proaktif dan meletakkan keutamaan yang sebetulnya jika benar rakyat diutamakan.
Di mana letaknya kekuatan moral sebuah kerajaan yang boleh membelanjakan RM84 bilion untuk projek mega, sedangkan satu, dua bilion yang betul-betul mempunyai kesan langsung kepada perbelanjaan rakyat sampai hati dipotong. Oleh sebab itu saya mengulangi pendirian Pakatan Rakyat bahawa harga minyak petrol dan diesel akan diturunkan serta merta apabila Pakatan Rakyat berkuasa... [Tepuk] Malaysia sebagai sebuah negara pengeksport minyak mentah berkualiti tinggi akan tetap membuat laba keuntungan yang melebihi kenaikan kos, menanggung subsidi setiap kali ada bahan harga minyak naik di pasaran dunia.
Dalam keadaan harga minyak mencecah USD100 satu tong dan kos pengeluaran purata sekitar USD40 satu tong, sebahagian kecil keuntungan dari hasil minyak negara boleh diperuntukkan demi mengurangkan beban rakyat seharian sementara kita mencari mekanisme terbaik, merasionalisasikan subsidi agar hanya golongan yang layak diberi subsidi.
Kalau Barisan Nasional tidak ada kekuatan moral dan keberanian untuk melaksanakan ini, Barisan Nasional juga tidak boleh mendabik dada dengan peneroka- peneroka FELDA seolah-olah harga komoditi sawit yang tinggi adalah hasil pengurusan pihak FELDA di bawah pentadbiran Barisan Nasional. Kalau mahu mencuci tangan bahawa kerajaan Barisan Nasional tidak berkemampuan mengawal kenaikan harga barang maka Barisan Nasional juga tidak perlu mengaku bahawa kenaikan apa-apa harga komoditi termasuk sawit tidak ada kena mengena dengan mereka.
Tuan Yang di-Pertua, pengagihan saham khas bumiputera. Tahun 2010 sahaja 1.5 bilion saham dari 18 tawaran awam permulaan diagihkan kononnya kepada pelabur bumiputera. Tahun 2010 juga menyaksikan apungan saham yang terbesar akhir-akhir ini termasuk Petronas Chemical Group Berhad pada harga tawaran RM5.05 sen sesaham, Malaysian Marine and Heavy Engineering Holding Berhad RM3.61 sen sesaham.
Jika sebahagian besar daripada RM1.5 bilion saham diagihkan kepada pelabur bumiputera itu datangnya dari saham-saham syarikat Petronas maka saham yang bernilai berbilion ringgit telah pun diagihkan kepada pelabur-pelabur yang berselindung di belakang nama bumiputera. Mekanisme agihan yang telah gagal sebelum ini hingga mewujudkan budaya politik naungan yang mencari jalan mudah mendapatkan saham dengan berselindung di sebalik alasan mencapai sasaran 30 peratus ekuiti bumiputera.
Tuan Saifuddin Nasution Ismail - Machang
Akhirnya berpuluh bilion ringgit saham yang diagihkan individu berkepentingan dijual dengan segera untuk mendapatkan kekayaan mudah. Wujudlah golongan elit kelas menengah Melayu yang sebenarnya menjadi kaya dengan menindas orang Melayu terbawah di peringkat bawahan ini. Perdana Menteri sendiri sebut 52 bilion saham agihan khas bumiputera telah diagihkan. Hari ini yang tinggal dua bilion, yang dapat ini kata Perdana Menteri, Tan Sri, Datuk Seri, Dato’ yang duduk di barisan hadapan dalam majlis kerajaan. Itu kenyataan Perdana Menteri dalam ucapan majlis UMNO di Johor yang dilaporkan oleh The Star tahun lepas.
Yang dapat bukannya Pak Leh yang jadi nelayan di Kuala Kedah, bukan Pak Mat yang meniaga ulam di pekan sehari di Machang. Bukan Mak Teh yang berniaga pekan Sabtu di pasar sehari di Pokok Sena. Bukan Mak Jah yang berniaga kedai makan di Rantau Panjang. Yang dapat adalah Tan Sri-Tan Sri, Datuk Seri-Datuk Seri, golongan inilah yang kuat mempertahankan pasaran 30 peratus ekuiti bumiputera agihan saham khas bumiputera mereka dapat dulu. Orang kampung tidak dapat apa. Oleh sebab itu Menteri yang bertanggungjawab, saya mohon dalam Dewan ini diumumkan sepenuhnya penerima 1.5 bilion saham khas bumiputera yang diagihkan dalam tahun 2010. Siapa dapat... [Tepuk] Kedua, umumkan rombakan mekanisme dan penambahbaikan kepada sistem agihan dan pemantauan saham khas bumiputera untuk mengelakkan penyelewengan yang mengakibatkan kehilangan 52 bilion saham bumiputera tidak berulang. Kalau tidak buat, kita cerita kepada rakyat.
Tuan Yang di-Pertua, ke Bawah Duli Yang di-Pertuan Agong juga dalam ucapannya menyentuh berkenaan dengan industri yang berkaitan teknologi hijau yang akan diberi galakkan bagi menyokong pembangunan industri negara. Disebut soal modal insan, transformasi pendidikan. Sains teknologi inovasi amat penting dalam memacu pembangunan negara. Pemerhatian kita dalam menggalakkan kemajuan sains dan teknologi dan mempromosi inovasi, kerajaan perlu lebih konsisten.
Tuanku menyeru ke arah menjana pengetahuan mencipta kekayaan dan meningkatkan kesejahteraan rakyat. Akan tetapi ada banyak contoh yang jelas di mana sikap kerajaan terhadap pembangunan sains dan teknologi bersifat bermusim dan minat jangka pendek, short term interest. Contoh terbaik Dasar Pembangunan Industri Bioteknologi. Dalam Rancangan Malaysia Kesembilan biotech diuar-uarkan sebagai enjin ekonomi baru negara.
Seluruh Bab Sembilan, buku RMKe-9 yang dilancarkan tahun 2006, memberi senario bahawa keseluruhan rantaian nilai atau value chain industri bioteknologi diberi keutamaan dari peringkat R&D hingga ke tahap pengkomersialan dan pembentukan syarikat-syarikat biotech Malaysia yang mampu menggegar dunia.
Tuan Saifuddin Nasution Ismail - Machang
Ratusan juta ringgit diperuntukkan membiayai institut-institut penyelidikan sains hayat termasuk institut farmaseutikal dan nutraseutikal, institut agro-bioteknologi dan institut jurnal Malaysia tidak termasuk ratusan juta dana geran untuk R&D dan pengkomersialan serta pelbagai insentif perniagaan termasuk pengecualian cukai pendapatan untuk syarikat- syarikat bionexus. Satu dasar biotech negara yang menjangkau tempoh 15 tahun turut diperkenalkan.
Malangnya Tuan Yang di-Pertua, pada tahun 2010 apabila Rancangan Malaysia Kesepuluh diumumkan, bioteknologi hanya menjadi satu nota kaki. Tidak ada rancangan jelas bagaimana industri yang berasas inovasi akan disokong dan dipupuk untuk terus membangun fasa-fasa seterusnya. Tidak ada report card yang menggariskan apakah hasil yang telah dijana. Tidak ada laporan. Kita faham bahawa R&D memerlukan masa tetapi kita juga perlu tahu sejauh mana pencapaian R&D. Kita juga mahu melihat sejauh mana syarikat-syarikat yang diberi sokongan dan insentif itu telah berjaya.
Kejayaan industri biotech Malaysia akan membantu negara mencapai banyak sasaran yang dititahkan oleh Ke Bawah Duli Tuanku. Sebagai sebuah industri berasaskan inovasi yang akan menjadi pemangkin kepada kerancakan usaha R&D dan inovasi yang dipacu pasaran, market driven di pusat-pusat penyelidikan dan universiti Malaysia.
Tuan Saifuddin Nasution Ismail - Machang
Fundamental research tetap penting tetapi kita akan dapat melihat hasil R&D yang dikomersialkan. Contohnya, ubat-ubatan. Utamanya botanical drug dari sumber tumbuh- tumbuhan tempatan, enzim yang mampu menghasilkan bahan bakar atau biofuels, peranti perubatan atau medical devises, vaksin untuk penyakit berjangkit seperti taun dan TB dan bermacam-macam lagi termasuk baka haiwan ternakan untuk penghasilan daging dan susu yang lebih sihat. Ini adalah hasil yang akan menyumbang besar kepada kesejahteraan rakyat seterusnya meningkatkan ekonomi negara.
Sesebuah industri berasaskan inovasi Tuan Yang di-Pertua, yang dinamik dan berdaya maju akan dengan sendirinya menarik minat tenaga pakar dan profesional sama ada rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara atau bukan rakyat Malaysia untuk pulang dan datang ke Malaysia untuk bekerja atau membawa modal pelaburan. Usaha TalentCorp.
akan lebih mudah sekiranya di Malaysia telah tersedia industri yang sememangnya memerlukan dan mampu menyerap tenaga pakar dan profesional. Malangnya, dalam segmen biotech ini kelihatannya dasar kita tidak konsisten, bermusim dan bersifat sementara.
Tuan Yang di-Pertua, akhirnya pada ucapan saya ini, saya ingin mengemukakan satu persoalan untuk dijawab oleh pihak kerajaan. Ia dari hal pengumuman yang saya baca dalam Berita harian, 14 Febuari baru ini mengenai Bank Negara foreign reserve yang telah meningkat sehingga RM338.6 bilion atau USD109.8 bilion. Sekarang sudah jadi USD109 bilion. Ini Bank Negara foreign reserve. Saya Cuma tertarik bila membaca the World Street Journal yang menceritakan bagaimana government of Singapore investment arm yang menguruskan soal pelaburan ataupun simpanan luar negara Singapura. Ia melabur USD100 bilion government reserve into a portfolio of stocks, commodities, bonds and private equities state. Singapura melalui GIC, pelaburan government reserve, portfolio stocks, commodities, bonds and private equities state.
Malaysia diumumkan USD109 bilion, tetapi kita hendak tahu, apakah ada perincian simpanan luar negara itu seperti mana setelus Government of Singapore Investment Corp. yang diumumkan dalam the World Street Journal, ke mana? Apakah dalam bentuk rizab emas ataupun simpanan pegangan wang asing atau bagaimana? Kita minta ia disegmenkan oleh kerajaan dalam menyentuh berkenaan dengan perkara yang kita sebut.
Tuan Yang di-Pertua, baru-baru ini Pakatan Rakyat telah melancarkan Buku Jingga. Antara tawaran kita Tuan Yang di-Pertua ialah Program 100 Hari Pertama kita, warga pendidik akan menerima kenaikan elaun RM500 sebulan. Yang Amat Berhormat Menteri Pelajaran kata bankraplah negara, tidak boleh buat, tidak munasabah. Kemudian diam-diam beliau umumkan guru besar cemerlang RM7,500. Kemudian adalah kategori guru sekian-sekian dan kerajaan akan belanja RM2.492 bilion. Itu one-off. Pakatan Rakyat tawarkan ialah setahun implikasi kewangan RM3.2 bilion, RM500 setiap bulan pada warga pendidik. Itu katanya bankrap. Reaksinya begitu.
Yang Amat Berhormat Perdana Menteri juga kata bankrap. Cuma, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dan Timbalan buat pengumuman mulai bulan ini sampai bulan September, mereka akan menjelajah ke seluruh negeri, barangkali sebelum pilihan raya untuk menjawab balik Buku Jingga yang ditawarkan oleh Pakatan Rakyat. Ini satu perkembangan yang baik. Hujah lawan hujah. Sayidina Umar kata lawanlah musuh kamu dengan senjata kamu gunakan. Pedang dengan pedang, tombak dengan tombak, panah dengan panah, hujah dengan hujah...
Tuan Khalid Abd. Samad - Shah Alam
[Bangun]
Tuan Saifuddin Nasution Ismail - Machang
Sila hujah.
Tuan Khalid Abd. Samad - Shah Alam
Ya. Terima kasih Yang Berhormat Machang. Saya merasakan bahawa memang respons yang diberikan iaitu untuk Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dan Timbalan untuk turun pergi menjelajah seluruh pelosok negara memberikan jawapan dan sebagainya. Memang satu respons yang positif dan ia merupakan satu pengiktirafan akan hakikat bahawa apa yang dikemukakan oleh Pakatan Rakyat di dalam Buku Jingganya adalah satu perkara yang memang perlukan tumpuan dan perlu dijawab.
Tuan Khalid Abd. Samad - Shah Alam
Akan tetapi, bagaimana pandangan Yang Berhormat Machang? Tidakkah ia lebih mudah sekiranya terus sahaja dianjurkan beberapa forum-forum, siaran langsung di dalam televisyen di mana Yang Amat Berhormat Perdana Menteri bertemu dengan Yang Berhormat Ketua Pembangkang dan berdebat supaya isu ini dapat dijelaskan dan rakyat dapat dengar daripada dua-dua belah pihak... [Tepuk] [Dewan riuh] Dengan cara itu maka rakyat dapat membuat pilihan berdasarkan kepada apa yang dikemukakan oleh dua-dua pihak secara direct. Bukan hendak dengar apa UMNO kata, PAS kata ataupun apa UMNO kata, PKR kata ataupun apa UMNO kata, DAP kata yang merupakan penyakit yang selama inilah yang dialami oleh negara kita yang menyebabkan satu gambaran yang songsang, pembohongan, fitnah dan sebagainya. Saya pun hendak sebut kerana ini adalah satu perkara yang selari dengan cogan kata yang diheboh-hebohkan di Merlimau, di Kerdau iaitu, “Selamatkan Malaysia daripada pembohongan dan fitnah”.
Maka, kalau disiarkan secara langsung di dalam televisyen di mana Yang Amat Berhormat Perdana Menteri berdebat dengan Yang Berhormat Ketua Pembangkang dan sebagainya, Yang Amat Berhormat Menteri Kewangan berdebat dengan pimpinan daripada Pakatan Rakyat berhubung dengan Buku Jingga ini, maka tagline itu untuk selamatkan Malaysia daripada pembohongan dan fitnah itu akan dapat dipenuhi. Ini kerana orang akan dapat melihat siapa yang akan bercakap benar dan orang akan dapat menilai hujah mana yang kukuh. Apa pandangan Yang Berhormat Machang?
Tuan Saifuddin Nasution Ismail - Machang
Terima kasih Yang Berhormat Shah Alam. Dalam sebuah negara yang mengamalkan iklim demokrasi yang segar, debat adalah satu perkara biasa. Tidak akan ada di kalangan pemerintah yang menempelak orang yang mengajaknya berdebat dengan membawa kisah lain. Tidak ada. Nabi Musa pun Allah SWT suruh berdebat dengan Firaun... [Membaca sepotong ayat al-Quran] Bermaksud, “Pergilah kamu berdebat dengan Firaun, sesungguhnya Firaun telah melampaui batas”. Maknanya, debat ini satu proses yang baik.
Tuan Khalid Abd. Samad - Shah Alam
Penjelasan. Firaun dia sanggup atau tidak berdebat dengan Nabi Musa?
Tuan Saifuddin Nasution Ismail - Machang
Firaun dalam cerita dalam al-Quran, Firaun sanggup berdebat dengan Nabi Musa... [Dewan riuh] Firaun, dia demam pun tidak, batuk pun tidak, bersin pun tidak, selesema pun tidak, angkuh dia. Dia diapit oleh Haman, birokrat. Pegawai kerajaan yang kerja dia ampu sahaja. Belum Firaun cakap, sokong.
Belum Firaun cakap, sokong. Kalau berucap sahaja, Firaunlah yang terbaik. Dia juga disokong oleh Qarun. Kunci gudang harta Qarun, anak kunci baru. Anak kunci Yang Berhormat Shah Alam ya, kunci gudang harta, kalau dihimpunkan, dilonggokkan untuk diangkat oleh seorang lelaki yang paling gagah zaman itu, nescaya tidak terangkat. Baru anak kunci gudang.
Tuan Saifuddin Nasution Ismail - Machang
Begitu hebat dia. Dia kata, jalan raya aku buat, gedung aku buat, sungai aku buat.
Dalam keadaan itu pun Musa kata, berdebat. Dia berdebat. Sanggup berdebat dan kita tidak katalah suasana sekarang Musa dengan Firaun. Kita kata, kita ada Buku Jingga, kerajaan ada segala macam program ekonomi. Kita merendah diri menulis kepada Perdana Menteri, tulis. Yang Berhormat Permatang Pauh tulis kepada Perdana Menteri, sudi apa kiranya berdebat. Perdana Menteri kata, dia ada banyak sokongan. Dia ada RM77 juta upah bayaran kepada APCO. Dia ada jentera, dia ada maklumat, dia kata Yang Berhormat Permatang Pauh demam kalau berhujah dengan dia... [Ketawa] Berdebatlah dahulu tetapi tidak berani. Sebaliknya, dia kata selesaikan dahulu kes mahkamah.
Dr. Mohd. Hatta Md. Ramli - Kuala Krai
[Bangun]
Tuan Saifuddin Nasution Ismail - Machang
Katanya begitu. Dia kata, kes mahkamah kita lalui. Kita kata debat polisi ekonomi untuk rakyat. Kita tidak mahu bawa isu peribadi, kita tidak mahu bawa soal siapa kena tangkap di Port Dickson, tidak mahu. Tidak mahu, tidak mahu, tidak mahu.
Seorang Ahli
Siapa dia?
Tuan Saifuddin Nasution Ismail - Machang
Kita tidak mahu sebut bab itu. Itu rahsia umum sebelah sana. Oleh sebab itu kita hendak bawa dalam kes ini. Ya, sila Yang Berhormat Kuala Krai.
Dr. Mohd. Hatta Md. Ramli - Kuala Krai
Terima kasih, baru sebut sedikit sudah melenting.
Seorang Ahli
Biasalah... [Ketawa]
Dr. Mohd. Hatta Md. Ramli - Kuala Krai
Saya rasa membandingkan cerita Firaun dengan yang ada masa kini, berbeza. Oleh sebab dahulu, Firaun, satu, Qarun pegang kuncinya. Sekarang ini orang yang sama pegang kunci dengan yang Perdana Menteri itu sama. Macam mana ini... [Ketawa]
Tuan Saifuddin Nasution Ismail - Machang
Terima kasih Yang Berhormat Kuala Krai. Faktanya jelas. Bising, biasalah. Saya katakan tadi, Firaun akan diapit oleh pengampu dia. Pantang Firaun disentuh, mereka akan bersuara... [Ketawa] Watak ini timbul sepanjang zaman. Watak ini timbul sepanjang masa, bukan hanya zaman dahulu. Zaman sekarang pun berlaku. Dia tidak akan senang duduk kalau Firaun disentuh, dahululah. Ini tidak ada kena mengena dengan yang hidup ataupun yang telah mati. Tidak ada... [Ketawa] Soal jerit sana, jerit sini, itu biasa. Ketika awal dakwah nabi zaman Makkiyyah, ketika nabi berdakwah, puak kafir Quraisy yang paling kuat menjerit menyerang nabi. Watak ini hidup sepanjang zaman... [Ketawa] Watak ini ada sepanjang zaman. Kalau hendak dengar, dengarlah. Itu dia, kisah dia. Tuan Yang di-Pertua, sebab itulah saya mohon kita kembali semula kepada suara rakyat kerana perubahan dunia mendadak akhir ini memberi gambaran kita berada dalam era baru. Perkara-perkara kebajikan rakyat perlu ditangani dengan sebaiknya dan setiap sen wang rakyat perlu ada ke pertanggungjawaban.
Bukannya pada zaman-zaman lalu yang mana wang rakyat menjadi harta peribadi golongan elit negara. Zaman itu telah berlalu. Oleh sebab itu rakyat akan memandang sinis pengumuman kerajaan, misalnya pada muka surat 11 dalam Titah semalam yang disiarkan oleh Kerajaan Barisan Nasional.
Tuan Khalid Abd. Samad - Shah Alam
[Bangun]
Tuan Saifuddin Nasution Ismail - Machang
Perenggan 27, bahawa hanya ada 100 keluarga yang berada dalam paras kemiskinan tegar di seluruh Malaysia.
Sebanyak 100 keluarga sahaja. Seingat sayalah, baru ini hadir mesyuarat pembangunan daerah Machang, DO bagi dua senarai. Senarai e-Kasih, miskin tegar 168 orang; Machang sahaja. Data Majlis Daerah Machang - 675 orang; data e-Kasih - 168.
Yang ini, perenggan 27, hanya 100 keluarga yang berada di dalam paras kemiskinan tegar di seluruh Malaysia, daripada Perlis sampai ke Sabah. Maknanya, Machang, Batang Sadong, Jerlun, Padang Besar, Jempol, Pasir Salak, semua himpun, 100 sahaja. Ini hendak kata typo error atau apa, tidak tahu tetapi versi bahasa Melayu pun 100, versi bahasa Inggeris 100. Sila.
Tuan Azan Ismail - Indera Mahkota
Terima kasih Yang Berhormat Machang.
Saya ada di tangan saya ini memang pasti, perenggan 27 menyatakan bahawa daripada 44,000 ketua isi rumah miskin tegar telah dikurangkan kepada 100 sahaja pada akhir tahun.
Saya teringat semalam, Seri Paduka Baginda ada menyebut dan ada sedikit gangguan di situ untuk menyebut perkataan dan angka itu. Saya rasa, pemimpin ataupun kerajaan perlu memberi penjelasan, adakah angka yang dibawa ini angka yang penuh tanggungjawab kerana kita melibatkan kedudukan yang tertinggi, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan mengisytiharkan angka ini. Adalah suatu perkara yang sangat buruk sekiranya kita tidak membawakan fakta yang betul untuk diwartakan, disebut sebagai angka rasmi di dalam pembukaan sidang Dewan yang baru.
Seorang Ahli
Muka surat berapa?
Tuan Azan Ismail - Indera Mahkota
Muka surat 11, perenggan 27. Kita minta Seri Paduka Baginda menyebut, “Beta bangga jumlah miskin tegar telah berjaya dikurangkan dalam tahun 2010, 44,000 jadi 100.”
Tuan Azan Ismail - Indera Mahkota
Tuan Yang di-Pertua, saya rasa ini adalah satu perkara yang cukup serius dan saya minta Yang Berhormat Machang memberi penjelasan seterusnya pada perenggan 27 ini. Terima kasih.
Tuan Saifuddin Nasution Ismail - Machang
Baik, terima kasih sahabat saya Yang Berhormat Indera Mahkota dengan latar belakang auditnya ini. Dia sensitif dengan angka. Memang 100 lah. Saya pun perasan semalam Baginda Tuanku macam pause sekejap, tergamam tetapi dia ulang, sebab itu teks. Ini datanya langsung tidak ada kena mengena, tidak kena langsung dengan kenyataan Menteri Sumber Manusia sendiri yang menyebut, dianggarkan 34 peratus daripada pekerja di Malaysia dibayar gaji di bawah paras kemiskinan. Workforce Malaysia lebih kurang 11 juta hingga 12 juta. 34 peratus daripadanya menerima gaji di bawah paras kemiskinan. 34 peratus daripada 12 juta adalah 4 juta, baik. Bawah paras kemiskinan.
Kemiskinan tegar, 100 orang daripada 4 juta itu? Baik, kita passing bola ke gelanggang pejabat Jabatan Perdana Menteri, EPU dan ICU untuk beri penjelasan terhadap perkara ini. Kita tidak mahulah data ini di manipulasi, hendak tunjuk, kata ini success story kita. Kalau tidak betul, betulkan. Akan tetapi kalaupun dia kata yes, 100 orang. Kita minta menteri yang bertanggungjawab berikan pecahan, saya hendak tahu 100 orang keluarga miskin tegar ini, Machang ada atau tidak. Duduk di mana? Seratus keluarga ini kita boleh kesanlah dengan mudah. Kita tidak mahu realiti sebenar ini dimainkan dengan manipulasi angka hendak memberikan gambaran bahawa kita ini seolah-olah berjaya melaksanakan dasar-dasar dengan segala macam program. Ini yang kita tidak hendak. Ini yang kita tolak sebenarnya.
Apalagi apabila teks itu dibaca oleh ke bawah Duli Tuanku sebagai Ketua Negara.
Tentulah siapa pun yang menyediakan teks ini adalah mereka yang saya fikir tidak melakukan kerja rumah dengan baik. Akan tetapi tidak mengapalah, 100 orang keluarga miskin. Kita hendak tengok pecahannya, dari Perlis berapa orang? Saya ingat dahulu Perlis, Arau rakan saya pernah pertikai sebenarnya. Angka ini pernah disebut tetapi rakan saya masa itu daripada Cameron Highlands memberikan penjelasan dengan angka itu.
Saya tidak tahu tetapi kalau tengok kakak saya daripada Rantau Panjang, kalau kita tengok sebelah sana, Kuala Krai.
Kalau kita pergi di sebelah Kuala Krai ataupun di Sabah dan Sarawak, saya ke Kampung Pengalat Besar baru-baru ini di Sabah, Tuan Yang di-Pertua, Kampung Pengalat Besar di Papar. Saya buat ucapan di masjid, dihadiri oleh imam. Susah hendak berucap sebab saya hendak kena sebut Yang Berbahagia Tuan Imam Pengalat Besar.
Puan Siti Zailah Mohd. Yusoff - Rantau Panjang
[Bangun]
Tuan Saifuddin Nasution Ismail - Machang
Ketua Kampung Pengalat Besar, kekok sedikitlah. Baik, sila Yang Berhormat Rantau Panjang.
Puan Siti Zailah Mohd. Yusoff - Rantau Panjang
Terima kasih Yang Berhormat.
Saya tertarik dengan apa yang dibahaskan Yang Berhormat di antara kita teragu-ragu dengan angka yang diberi oleh pihak pemerintah. Apa yang hendak saya kongsi dengan Yang Berhormat ialah apa yang berlaku dalam kawasan saya. Di satu sekolah, bagaimana pihak sekolah memberitahu di sekolah beliau ada lebih kurang 414 orang pelajar yang miskin tegar. Akan tetapi apabila nama ini dikemukakan kepada pihak yang bertanggungjawab untuk mendapat bantuan wang KWAMP, tiba-tiba yang diberi hanya seorang sahaja. Mungkin inilah yang berlaku, mereka cuba hendak menaikkan imej dalam keadaan mereka tahu realiti sebenar rakyat dihimpit dengan kemiskinan. Tambahan dengan harga barang yang meningkat, kos hidup yang terus meningkat dan saya minta apa komen Yang Berhormat dalam isu ini.
Tuan Saifuddin Nasution Ismail - Machang
Jelas Tuan Yang di-Pertua. Yang Berhormat Rantau Panjang tadi memberikan angka panjang – 400 lebih miskin tegar.
Kemudian kalau kita tengok skim bantuan sarapan pagi di sekolah, saya pun menerima banyak aduan di mana angka itu dikurangkan kerana katanya Kementerian Pelajaran telah pun memotong dana. Itu pun agak menyedihkan.
Tuan Saifuddin Nasution Ismail - Machang
Jadi berasaskan kepada fakta yang dikemukakan oleh rakan-rakan, kita berpendapat bahawa pihak kerajaan harus memberikan perhatian terhadap perkara yang kita bangkitkan berkaitan dengan angka 100 ketua keluarga miskin tegar seluruh negara.
Tuan Yang di-Pertua, saya kemudiannya mengembalikan semula fokus ucapan saya kepada isu daftar pemilih. Baru-baru ini kita membuat satu kenyataan media mempertikaikan kewujudan daftar pemilih pos yang agak luar biasa pertambahannya. SPR menjawab bahawa itu kerana disebabkan kesedaran politik yang meningkat di kalangan isteri-isteri tentera. Di Kelantan Tuan Yang di-Pertua, DUN Kok Lanas Parlimen Ketereh, ada 449 isteri tentera yang beralamat di Rejimen Askar Melayu Diraja Kem Desa Pahlawan – 16 Rejimen Askar Melayu.
Saya membawa semua 441 yang dahulunya pemilih biasa tetapi sekarang namanya menjadi pemilih pos – muncul dalam daftar pemilih tambahan. Kita bantah. Asas bantahan kita ialah kerana mereka tidak mengisi Borang ‘A’ yang diwajibkan di dalam Election Law. Mereka tidak mengisi Borang ‘A’. Apabila tidak mengisi Borang ‘A’ – Borang ‘A’ mengandungi maklumat mereka hendak memindahkan status mengundi. Kalau dia dahulu hendak mengundi di Pokok Sena dan sekarang hendak mengundi di Machang, perlu Borang ‘A’. Dahulu pemilih biasa dan hendak menjadi pengundi pos, perlu Borang ‘A’.
Kalau tidak isi, dia salah mengikut seksyen 3, Akta Kesalahan Pilihan Raya yang boleh didenda RM5,000.
Nama seramai 441 orang ini apabila kita bantah – bayar RM10 – public hearing dibuat, inquiry dibuat. Pegawai Daftar Pemilih Negeri Kelantan kemudian meneliti 449 nama yang dibuat bantahan. Bantahan kita diterima, 449 ini dikeluarkan nama. Ini 449.
Pertambahan pemilih pos untuk tahun 2010 itu meragukan. Ramai di Kelantan, Kedah, Perak dan Selangor. Di Pulau Pangkor sahaja dekat 6,000 kerana isteri tentera di navy base itu, kesedaran politiknya tinggi.
Dato’ Mahfuz bin Haji Omar - Pokok Sena
Kah tentera baru bernikah?
Tuan Saifuddin Nasution Ismail - Machang
Yang ini dahulu mengundi biasa, sekarang mengundi pos. Kita ada senarai ini – 449. Rupanya ada orang yang tolong isikan Borang ‘A’ bagi pihaknya. Jadi kita hendak membangkitkan mekanisme menerima pertukaran status pemilih ini daripada pemilih biasa menjadi pemilih pos. Bagaimana SPR mempunyai mekanisme mengesan penipuan ini. Ini terang. Pegawai SPR kemudiannya mengisi borang dan menyebut bahawa dengan ini dikeluarkan dari dalam daftar pemilih seperti mana nama tertera. Kita pun sebut. Saya ambil ini hendak menunjukkan bahawa kalaulah sistem pilihan raya kita hari ini – dia tahu undi pos ini memihak kepada Barisan Nasional dan usaha ini dibuat berterusan.
Kalau tidak bantah, nama ini masuk Daftar Pemilih Induk dan mereka akan mengundi. Sebut sahaja pilihan raya, kita kalah. Orang-orang ini tidak pernah pun mendaftar sendiri sebagai pengundi pos dan ini sedang berlaku berleluasa.
Tuan Khalid Abd. Samad - Shah Alam
[Bangun]
Tuan Saifuddin Nasution Ismail - Machang
Ya, sila.
Tuan Khalid Abd. Samad - Shah Alam
Ya Yang Berhormat Machang, terima kasih di atas maklumat itu. Adakah ini di antara usaha-usaha untuk mendapatkan 95 peratus sokongan seperti mana yang pernah dicapai oleh Hosni Mubarak? Itu soalan yang pertama. Soalan yang kedua yang saya hendak tanya, tidakkah sepatutnya kalau pihak SPR dan pihak berkuasa menginginkan satu daftar pemilih yang benar-benar tepat dan telus, maka usaha-usaha kita untuk membersihkan daftar pemilih itu diberikan ganjaran dan bukannya dikenakan denda?
Di sini nampak seolah-olah ia merupakan satu tindakan yang hendak menghalang daripada mana-mana pihak membuat pembetulan. Apa yang dikemukakan – 400 lebih nama yang betul sah yang sepatutnya tidak ada sebagai pengundi pos tetapi apabila kita membuat aduan, kita menyumbang kepada proses demokrasi yang lebih bersih, kita pula yang kena denda. Sepatutnya SPR mengemukakan satu cadangan di mana kalau mana- mana pihak berjaya untuk mengenal pasti pengundi yang tidak sah, yang tidak betul, maka orang itu akan diberikan bagi setiap satu nama RM100.
Tuan Khalid Abd. Samad - Shah Alam
Barulah kita dapat daftar pengundi yang bersih. Barulah kita mendapat satu pilihan raya yang bersih dan sepatutnya itulah matlamat di sebaliknya.
Ketiga, tidakkah sepatutnya ‘mereka-mereka’ yang telah menolong mengisi Borang ‘A’ itu dikenakan tindakan? Bagaimana boleh ditukar pengundi-pengundi daripada satu tempat ke satu tempat ataupun daripada pengundi biasa menjadi sebagai pengundi pos tanpa pengetahuan pengundi itu sendiri? Dan orang yang melakukan itu tidakkah dia melakukan satu pengkhianatan terhadap rakyat, dan tidak kah sepatutnya orang yang seperti itu dikenakan tindakan undang-undang?
Inilah saya rasa di antara tiga perkara yang perlu kita fikirkan dan kita bincangkan.
Sekiranya Kerajaan Barisan Nasional memang benar-benar menghormati rakyat dan hendak rakyat yang memilih kerajaan dan bukan kerajaan yang memilih kerajaan sendiri, maka ini merupakan perkara-perkara yang perlu diberikan pertimbangan dan penelitian.
Terima kasih. Apa pandangan Yang Berhormat?
Timbalan Yang di-Pertua - Datuk Dr. Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar
Yang Berhormat ada tiga minit lagi Yang Berhormat.
Tuan Saifuddin Nasution Ismail - Machang
Tiga minit? Saya conclude. Tuan Yang di-Pertua, apabila bantahan dibuat, satu nama kita bayar RM10. Untuk 449, kita bayar RM4,490. Kemudian SPR membuat hearing dan kemudian dia bertanya kakak-kakak ini, “Kakak Afikah Samsudin, nama dan daftar tambahan ialah pengundi pos, pernah isi Borang A?’’ Dia jawab, “Tidak.” Jawab tidak, terus SPR potong. Sepatutnya SPR seperti yang disebutkan oleh Yang Berhormat Shah Alam, SPR tentulah mempunyai mekanisme untuk membuat repot polis – semak semulalah. Buat repot polis untuk membolehkan tindakan diambil ke atas mereka yang terbabit. Barulah daftar itu menjadi bersih.
Dato’ Mahfuz bin Haji Omar - Pokok Sena
Sepatutnya awal lagi sudah ditolak.
Tuan Saifuddin Nasution Ismail - Machang
Sepatutnya, tetapi kita tengok kelemahan ini memasukkan beribu pemilih pos dan dia tahu pemilih pos mengundi dia.
Jadi, takkanlah hendak berbangga dengan...
Tuan Khalid Abd. Samad - Shah Alam
Pembetulan. Yang Berhormat Machang, pengundi pos bukan pengundi dia tetapi dia mengundi bagi pihak pengundi pos.
Tuan Saifuddin Nasution Ismail - Machang
Betul, correction. Ya, ada orang tolong undi bagi pihak dia. Mula-mula dia masukkan nama secara sindiket, kemudian dia tolong pangkah dan ini menyebabkan keputusan pilihan raya yang tidak bersih...
Dato’ Mahfuz bin Haji Omar - Pokok Sena
Kalau orang tidak ada duit hendak buat bantahan, habislah.
Tuan Saifuddin Nasution Ismail - Machang
Habislah. RM4,490. Sepatutnya SPR memberikan imbuhan kepada kita kerana kita mengambil inisiatif, tetapi kita didorong bagi menyekat unsur-unsur yang kita baca sebagai ada pelanggaran terhadap Akta SPR.
Itu yang kita sebut. Jadi, sama ada jadi Mesir atau tidak, kita cuma hendak sebut, menghadapi pilihan raya akan datang, kalaulah pelaksanaan pilihan raya kita – the conduct of election itu berlaku banyak penipuan, manipulasi, penyalahgunaan kuasa, kita hendak sebut Pakatan Rakyat tidak akan duduk berdiam diri untuk kepala kita dipijak semahu- mahunya atas nama Barisan Nasional hendak terus berkuasa. Kali ini bukan macam lepas- lepas sudah. Ambil peringatan elok-elok, kita akan menentukan biar prinsip pengendalian undang-undang perjalanan pilihan raya yang bersih dapat dilaksanakan.
Tuan Yang di-Pertua, terima kasih. Saya akhiri dengan Assalamualaikum warahmatullaahi wabarakaatuh... [Tepuk]
Timbalan Yang di-Pertua - Datuk Dr. Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar
Ya, Yang Berhormat Pasir Mas. Yang Berhormat, diperingatkan lagi bahawa tinggal setengah jam sahaja Yang Berhormat.
Dato’ Ibrahim Ali - Pasir Mas
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Saya ingin mengambil bahagian bagi membahaskan Titah Ucapan Diraja bagi sesi Parlimen ini, dan saya mengucapkan terima kasih di atas peluang yang diberikan.
Tuan Yang di-Pertua, saya tidak menyediakan apa-apa teks ucapan tetapi saya telah mencatatkan beberapa perkara yang saya ingin bangkitkan secara ringkas kerana banyak perkara yang saya berhajat untuk kemukakan di dalam perbahasan ini.
Dato’ Ibrahim Ali - Pasir Mas
Tuan Yang di-Pertua, saya bagi pihak rakyat Pasir Mas menjunjung kasih di atas ucapan titah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di waktu merasmikan Parlimen pada sesi ini. Perkara yang paling menarik dalam Titah Ucapan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan menjadi tajuk berita rasmi media-media aliran perdana ialah ingatan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong supaya jangan kita sekali-kali menyentuh isu-isu sensitif.
Saya berpendapat memang ia terlalu penting kerana sebelum ini Majlis Raja-Raja Melayu sudah dua kali mengeluarkan kenyataan mengenai perkara yang sama.
Selain daripada itu ingatan saya juga Tuan Yang di-Pertua, titah ucapan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu hampir keseluruhan saban hari bertitah mengingatkan kita semua dan saya mengingatkan kepada diri saya sendiri supaya jangan menyentuh isu- isu sensitif yang boleh menimbulkan masalah kepada negara apatah lagi ketegangan dan juga mengakibatkan keadaan politik dan keselamatan negara kita tidak stabil.
Secara ringkasnya Tuan Yang di-Pertua, saya berharap kita semua akur dengan titah ucapan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ini. Akan tetapi saya sangsi apakah nasihat, ingatan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ini akan diambil perhatian dengan secara serius ataupun ia merupakan nanti satu titah yang disampaikan begitu penting tetapi bagi sesetengah parti politik tidak lebih daripada mencurah air ke daun keladi. Masuk telinga kanan keluar ke telinga kiri.
Tuan Yang di-Pertua, keselamatan ini perkara yang paling utama. Tanpa keselamatan segala-galanya tidak ada erti apa-apa, tidak ada pilihan raya lagi, tidak ada demokrasi lagi, tidak ada kebahagiaan kehidupan bagi sesebuah negara kalau ia berlaku huru-hara. Oleh sebab itu berkali-kali titah ke bawah Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu mengingatkan kita mengenai dengan perkara ini.
Oleh kerana saya sangsi bahawa ia tidak akan dipatuhi maka yang penting juga Tuan Yang di-Pertua, apakah langkah-langkah kerajaan untuk memastikan hal-hal seumpama ini tidak akan berlaku lagi sebab kita tahu keghairahan untuk meraih undi dalam konteks politik akan terus menjadi-jadi dengan menggunakan berbagai-bagai isu sentimen perkauman untuk mendapat undi ini.
Jadi Tuan Yang di-Pertua sebagai contoh tadi pun saya ada bangkit waktu Yang Berhormat Hulu Selangor bercakap. Baru-baru ini contohnya masih berlaku sebuah pertubuhan haram – Hindraf, menghantar surat representasi kepada 21 pihak memburuk- burukkan negara Malaysia. Saya tidak berhajat semata-mata kerana hendak mempertahankan kerajaan, tidak. Akan tetapi memburuk negara dengan macam-macam perkara yang ditulis dalam memorandum tersebut yang akhirnya saya mengambil inisiatif setakat yang termampu menjawab apa yang telah ditulis yang dihantar oleh P. Waytha Moorthy ini, Pengerusi Pertubuhan Haram Hindraf yang saya diberitahu kata bersembunyi di London.
Dengan media baru dan dunia intelek ini perkara ini akan terus berlaku dan saya bimbang apabila ada mereka yang terus mengungkit perkara yang dibangkit yang dinasihati oleh Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan apabila tindakan undang-undang hendak diambil mereka akan lari ke luar negara dan perkara ini akan terus berlaku. Jadi apa tindakannya? Bagaimana hendak menghalang dan memastikan perkara ini tidak berlaku lagi. Ia mestilah ada undang-undang. Tindakan mesti dibuat.
Dato’ Ibrahim Ali - Pasir Mas
Saya ingin mengusulkan Tuan Yang di-Pertua supaya kerajaan mewujud Suruhanjaya Perlucutan Kerakyatan. Suruhanjaya Perlucutan Kerakyatan ini saya cadangkan apabila ada mana-mana pihak yang memburukkan negara lari ke luar negara, mengguna media baru memburukkan negara tidak kira dia ini kaum apa sama ada dia Melayu, dia kaum Cinakah, Indiakah sesiapa sahaja yang sekarang ini menjadi warganegara tetapi tidak menunjuk ketaatsetiaan dan menulis melakukan tindakan-tindakan yang bukan-bukan yang bercanggah dengan undang-undang maka saya percaya wajar orang-orang seumpama ini tidak wajar menjadi rakyat negara Malaysia.
Untuk melaksanakan cadangan ini bagi menampakkan ketelusan dan keadilan, ia mesti dibuat melalui satu pembentukan Suruhanjaya Perlucutan Hak Kerakyatan ke atas individu-individu yang tidak bertanggungjawab ini.
Tuan Yang di-Pertua, selain daripada itu saya hendak minta kerajaan mengkaji balik Akta 43 yang ada kena-mengena dengan menjadi ahli sesebuah pertubuhan haram.
Mungkin hukuman atau denda yang diperuntukkan dalam akta ini belum mencukupi. Mesti – mungkin ditambah kepada hukuman yang lebih berat ataupun mandatori paling tidak sebagai satu pengajaran. Begitu juga seksyen 27(5), bersabit dengan perhimpunan haram, ia juga boleh mencetuskan ketidakstabilan politik dalam negara kita.
Saya berharap kerajaan juga kena proaktif kalau ada mana-mana pihak termasuk parti politik yang berhasrat untuk mengadakan perhimpunan secara aman permudahkan permit yang mereka pohonkan. Jangan kita bagi berbagai-bagai alasan yang menyebabkan pihak-pihak ini mengadakan penunjuk perasaan tanpa permit dan akhirnya di terjemah sebagai penunjuk perasaan haram. Akan tetapi pada masa yang sama saya juga berharap pihak-pihak ini juga jika mengadakan perhimpunan haram maka tindakan tegas harus diambil. Jadi kena adil kedua-dua belah pihak. Barulah kalau ada permit maka perhimpunan sesuatu perhimpunan mudah ditangani dari segi keselamatannya.
Oleh sebab itu saya harap perkara ini mesti diperincikan termasuk juga Akta Hasutan juga mesti dikaji semula. Akta Hasutan banyak perkara-perkara yang terlindung di bawah Akta Hasutan termasuk kalau disentuh perkara-perkara yang telah pun dinasihatkan oleh Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong tetapi belum mencukupi. Saya hendak beritahu Tuan Yang di-Pertua, Dewan Yang Mulia ini mungkin Ahli-ahli Yang Berhormat pun mengikuti perkembangan selama ini. Islam agama rasmi Persekutuan sudah ada pihak mempersoalkan azan masjid. Walaupun perkara ini sudah selesai, minta maaf tetapi sebelum itu sudah ada perhimpunan di perkarangan masjid yang boleh mencetuskan keadaan yang tidak baik dari segi perhubungan antara rakyat Malaysia.
Sudah ada pihak bukan Islam bercakap di atas masjid.
Walaupun memang orang bukan Islam boleh melawat masjid tetapi tazkirah, kalau hendak bercakap mesti orang Islam kepada orang bukan Islam, bukan sebaliknya.
Banyak lagi isu-isu yang berkaitan sehingga terdapat orang-orang bukan Islam membaca ayat-ayat suci Al-Quran sebaris, dua baris dalam kempen pilihan raya. Ini juga saya percaya salah dan bertentangan dengan ajaran Islam. Menghina Islam sebab bagi kita orang Islam kalau kita dalam keadaan kotor, tidak mandi junub contohnya perempuan dalam keadaan haid tidak boleh membaca ayat Al-Quran apatah lagi orang bukan Islam.
Oleh itu saya mencadangkan Tuan Yang di-Pertua, juga satu undang-undang baru diwujudkan ataupun meminda undang-undang Akta Hasutan supaya memasukkan perkara- perkara ini iaitu sesuai dengan Islam sebagai agama rasmi negara maka ia tidak boleh mana-mana pihak mempersoalkan azan, tidak boleh orang bukan Islam membaca ayat-ayat suci Al-Quran dalam ceramah-ceramah pilihan raya dan juga sebagainya.
Sama ada satu bentuk undang-undang baru ataupun meminda Akta Hasutan supaya mengemaskinikan cadangan yang dibangkit ataupun nasihat yang dibangkit oleh Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong iaitu saya ulang pewujudan Suruhanjaya Perlucutan Kerakyatan, meminda Akta Hasutan dengan memasukkan perkara-perkara yang saya sebutkan tadi dan juga Akta 43 yang berkaitan dengan menjadi ahli pertubuhan haram dan juga mengenai dengan perhimpunan di bawah seksyen 27(5). Ini perkara-perkara yang harus diambil tindakan demi keselamatan negara sebab pada saya Tuan Yang di-Pertua, bottom line everything is security.
Dato’ Ibrahim Ali - Pasir Mas
Saya mengemukakan pandangan ini pun bukan kerana sentimen selain daripada saya penganut agama Islam. Saya lebih mementingkan soal keselamatan sebab segala- galanya tidak akan bermakna kalau negara kita huru-hara. Tengok pengalaman di negara- negara Afrika Utara sekarang ini. Tengok pengalaman di lain-lain negara, kita pun riuh- rendah berpekik hendak kepada kemajuan, hendak kepada infrastruktur yang baik. Akan tetapi, ia akan musnah sekelip mata kalau berlaku pergaduhan, pertempuran dan yang akhirnya membawa pada pembunuhan antara satu sama lain. Inilah perkara yang pokok yang saya hendak ajukan dalam perbahasan Titah Diraja ini.
Dato’ Ibrahim Ali - Pasir Mas
Tuan Yang di-Pertua, selain daripada itu, saya hendak menyentuh perkara pokok dahulu – maaf. Untuk itu daripada segi mendidik rakyat negara kita, baru-baru ini saya ada terbaca, memang kerajaan akan menggunakan mata pelajaran Sejarah, menjadi mata pelajaran wajib pada tahun 2013 di sekolah, di peringkat SPM kalau tidak silap saya. Saya minta dan mencadangkan supaya dalam mata pelajaran Sejarah ini dimasukkan juga kurikulum ataupun subjek di bawah mata pelajaran Sejarah mengenai dengan isu Perlembagaan Negara. Ini supaya anak-anak kita pada masa akan hadapan boleh memahami, menghayati tentang asas Perlembagaan Negara kita, bagaimana negara kita ini dibentuk? Apakah asas-asas Perlembagaan Negara, sepertimana yang juga ada kaitan dengan Titah Ucapan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
Ini disebabkan ada rakyat yang tidak faham langsung. Bahasa Melayu pun, ada rakyat yang lahir di negara ini tidak faham, tidak boleh bercakap Bahasa Melayu. Saya kagum dengan Yang Berhormat Hulu Selangor tadi. Bahasa Melayunya cukup petah sekali, lancar. Ada lagi seorang atau dua orang Ahli-ahli Parlimen yang lain, tetapi ada sesetengah yang lahir di sini, tidak mahir menggunakan bahasa Melayu langsung. Jadi, sebab itu saya cadangkan asas Perlembagaan Negara ini dimasukkan dalam mata pelajaran Sejarah.
Tuan Yang di-Pertua, dalam hal ekonomi. Ini penting. Dalam hal ekonomi banyak perkara tetapi oleh kerana masa singkat. Tuan Yang di-Pertua, GNI (Gross National Income). Dahulu kita panggil GNP. Sejak tahun 2009 ke tahun 2011, untuk kaum bumiputera khususnya orang-orang Melayu, setakat ini saya lihat hanya RM140 bilion ke RM143 bilion. Perkembangannya hanya sekadar atas 5 peratus dan unjuran GNI untuk tahun 2020, apabila kita mencapai negara maju ialah kalau tidak silap saya, RM260 bilion.
RM260 bilion, ertinya, kalau pergerakan GNI untuk masyarakat Melayu bumiputera ini bergerak atas 5 peratus, ertinya kalau sampai pada tahun 2020, pencapaiannya hanya RM250 bilion. Kalau hendak pada 30 peratus, mesti saya kira RM510 bilion.
Jadi ini bererti Tuan Yang di-Pertua, kerajaan mesti melaksanakan affirmative action. Dasar kesungguhan mesti diteruskan sehingga kekayaan ekonomi negara, pembahagian ekonomi negara dapat dicapai untuk kaum bumiputera yang penduduknya majoriti 5.67 peratus mencapai sasaran 30 peratus. Selagi mana matlamat ini tidak tercapai, selagi itulah apa bentuk dasar pun mesti diteruskan dengan dasar affirmative ini. Dasar affirmative ini penting supaya dengan pelbagai ekonomi yang adil, pada masa akan datang, negara kita akan selamat.
Ini juga perkara yang ada dalam deklarasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di bawah sosioekonomi yang disebutkan dengan jelas bahawa penduduk majoriti, apatah lagi kalau penduduk majoriti itu rakyat asal kaum negara berkenaan, maka mestilah ada dasar- dasar affirmative yang saya cadangkan tadi. Akan tetapi nampaknya, banyak dasar affirmative sekarang ini ada tetapi sesetengah ditarik atas dasar liberalisasi.
Saya hendak minta supaya contohnya, isu e-Perolehan. E-Perolehan sekarang ini di tender. Tender melalui perolehan, tentu kaum bumiputera, syarikat bumiputera tidak mungkin boleh bersaing dengan harga bukan bumiputera. Mereka menguasai segala kilang pembuatan dan seumpamanya. Maka kerajaan melaksanakan apa yang dikatakan margin of preference dalam konteks pembahagian tender melalui perolehan. Saya harap dasar ini dikekalkan kerana ada pihak-pihak yang mendesak kononnya sudah sampai perkara ini untuk dihapuskan. Ini saya tidak bersetuju selagi mana pencapaian tidak sampai pada tahap 30 peratus. Bahawasanya kerajaan, rakyat terutamanya kaum bumiputera, masih lagi perlu pada sokongan dasar-dasar seumpama ini.
Dato’ Ibrahim Ali - Pasir Mas
Begitu juga saya dengar kuota yang ditentukan oleh remisier, untuk menjadi remisier, menjual saham-saham. Ada lebih kurang dua ribu lebih remisier kaum bumiputera dan syarikat kaum bumiputera yang disenaraikan di Bursa Saham Kuala Lumpur tidak banyak dan tidak begitu aktif. Mereka ini, wujudnya meja mereka di bursa saham kerana mereka ada kuota untuk menjual saham dan kuota itu hendak ditarik. Kalau kuota hendak ditarik, meja mereka pun hilang di Bursa Saham Kuala Lumpur dan syarikat-syarikat besar ini tentulah apabila hendak jual saham, saya tidak percaya mereka akan memberikan keutamaan kepada kaum bumiputera sebagaimana mereka tidak memberikan tempat, jawatan-jawatan yang penting untuk kaum bumiputera dalam syarikat-syarikat swasta.
Saya bersetuju kita memperbanyakkan lain-lain kaum berkhidmat dalam kerajaan sebagaimana yang mereka suakan selama ini. Akan tetapi kita hendak lihat juga dalam syarikat swasta yang besar-besar, mereka memberikan tempat kepada kaum bumiputera, menjadi CEO, menjadi pemegang jawatan-jawatan penting. Jangan tempat ini sahaja kita hendak sama rata, tetapi hak mereka langsung mereka tidak hendak berkongsi dengan kaum bumiputera. Ini saya harap harus diberikan perhatian. Saya dengar kata remisier ini juga akan ditarik. Ini antara tindakan affirmative action yang saya harap diberikan perhatian.
Sama juga apabila kita bercakap soal AP dahulu. Ini kerajaan hendak menghapuskan AP.
Ini sahaja yang ada pada bumiputera.
Saya hendak minta Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, tolong jawab secara terperinci, apakah bentuk bantuan khusus kepada orang- orang Melayu, kaum bumiputera di bawah hak istimewa orang Melayu. Kalau disebut subsidi, semua pihak dapat subsidi - minyak, gula, tepung, semua kaum dapat. Biasiswa pun sudah hendak hampir sama. So, di manakah apa yang dikatakan hak keistimewaan orang Melayu? Apakah ia semata-mata sudah menjadi akademik, hanya kertas dalam Perlembagaan? Bukan saya hendak bangkitkan perkara ini tetapi saya menuntut supaya dasar pencapaian 30 peratus ini dapat dilaksanakan.
Kalau hendak dikira dasar yang sebenarnya, Tuan Yang di-Pertua, equitable punya dasar tentu berasaskan pada jumlah kaum, 67 peratus . Akan tetapi ini kita minta 30 peratus . Belum tercapai. Kita teruskan, tetapi kalau teruskan menarik tindakan-tindakan dasar affirmative, saya percaya ia tidak akan berjaya. Ia tidak akan mencapai sasaran yang saya sebutkan tadi. Oleh sebab itu kita lihat, pendapatan isi rumah. Saya hendak bertanya, isi rumah antara kaum - saya hendak meminta statistik dengan kerajaan, berapa banyak sekarang ini?
Mengikut kajian yang saya buat, semalam pun saya ada buat perbincangan meja bulat dalam kalangan pakar-pakar ekonomi di bawah Biro Ekonomi PERKASA, NGO yang saya pimpin, kita dapati daripada fakta yang sahih yang kita dapat, kaum bumiputeralah berada paling bawah daripada segi pendapatan isi rumah. Malah, kaum India duduk di pertengahan daripada segi sasaran negara kita dan kaum lain itu memang berada begitu tinggi sekali. Jadi, pendapatan isi rumah kaum bumiputera masih lagi terkebelakang.
Tidak usah bercakap soal kemiskinan tegar. Ini perkara umum. Mana kita boleh hendak bilang satu, dua, tiga, empat - ada 400,000 ada 600,000. Angka ini panduan sahaja.
Pada saya, it is not necessary dengan izin, tepat. Ia hanya sekadar panduan. Disebabkan itu dalam konteks ini, kemiskinan tegar, pendapatan isi rumah, tetapi kalau di campur kira semua, yang penting ialah taraf hidup. Rakyat mampu menangani masalah-masalah hidup mereka daripada segi keperluan sesebuah keluarga sama ada daripada segi perbelanjaan pelajaran, makanan, rumah, keperluan-keperluan lain, ini yang perlu kita lihat. Jadi, kalau ini tidak dapat ditangani, saya percaya, kita hanya beretorik sahaja. Disebabkan itu Tuan Yang di-Pertua, saya harap perkara seumpama ini dapat diberikan perhatian dengan sepenuhnya sebab ini juga ada kaitan dengan pencapaian, kedudukan kaum bumiputera pada masa akan datang.
Begitu juga saya hendak bertanya Kementerian Perdagangan Antarabangsa
(MITI) bersabit dengan syarikat-syarikat SME. Syarikat-syarikat SME ini Tuan Yang di- Pertua, penting. Ini kerana kalau di Jepun dengan Korea, syarikat SME ini dia contribute lebih kurang 50 peratus ke 80 peratus pada GNP. Di negara kita ini ada 540,000 SME. 80 peratus syarikat mikro bumiputera yang kecil-kecil dan sumbangan SME pada GNP negara kita, tidak sampai pun 30 peratus sekarang ini. Apakah langkah-langkah untuk meningkat?
Dato’ Ibrahim Ali - Pasir Mas
Memang kerajaan ada wujud corporation SME yang seumpamanya tetapi malangnya saya dapati, dalam berita baru-baru ini - sebagai contoh, kerajaan melancarkan jaminan modal, jaminan kerja (SJMK). Hanya terdapat 18 permohonan bumiputera bernilai RM7.89 juta, manakala SJMK bukan bumiputera mencapai angka 312 dengan nilai RM175 juta. Apa jadi?
Dato’ Ibrahim Ali - Pasir Mas
Jadi apa usaha kementerian MITI dalam meningkatkan penyertaan bumiputera supaya daripada syarikat kecil jadi syarikat pertengahan dan sebagainya. Akan tetapi kalau ini berterusan kita tidak akan capai matlamat dan apatah lagi kalau ditarik tindakan-tindakan affirmative ini. Jadi sebab itu Tuan Yang di-Pertua, kita harus tengok perkara-perkara yang saya sebutkan tadi, maka oleh sebab itu saya mengalu-alukan dan cukup teruja bila Yang Amat Berhormat Perdana Menteri melancarkan TERAJU di bawah Majlis Tindakan Ekonomi Bumiputera, alhamdulillah baru dilancarkan. Akan tetapi saya hendak tahu macam mana modus operandinya? Apakah TERAJU mempunyai kuasa eksekutif seperti PEMANDU di peringkat nasional? Apakah eksekutif CEO kepada PEMANDU juga boleh berinteraksi direct, memberi laporan kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri?
Saya hendak tahu dan apakah TERAJU akan menggunakan konsultan ETOS yang sekarang ini dipakai oleh PEMANDU, yang saya tahu pandangan-pandangannya tidak lah seberapa sangat tetapi bayarannya entah beberapa puluh juta saya tidak tahu. Saya minta maaf saya tidak tahu angkanya? Akan tetapi saya hendak tahu sebab berharap kepada TERAJU ini dapat bukan sahaja merancang dan memantau tetapi dapat memperkenalkan program-program affirmative action yang boleh meningkatkan ekonomi kaum bumiputera.
Selain daripada itu, Government-Linked Company (GLC) sudah banyak kali kita bangkitkan di Dewan Rakyat ini. Saya hendak beritahu Tuan Yang di-Pertua bahawa ini pun ada kena mengena, contohnya dividen yang dibayar oleh PNB dan ASB 8.75 peratus, Tabung Haji 5.5 ke 6 peratus, Bank Rakyat 15 peratus selama 12 tahun berturut-turut.
Mengapa Bank Rakyat bayar dividen 15 peratus selama 12 tahun berturut-turut, mengapa Tabung Haji 5.5 ke 6 peratus, ASB 8.75 peratus? Saya ingat pada waktu ASB dilancarkan oleh Allahyarham Tun Hussein Onn semasa saya muda-muda dahulu dengan dana RM500 juta dan dapat pula bayar dividen 20 peratus. Sekarang ini PNB dana RM20 bilion tetapi tidak mampu menandingi, membayar dividen seperti mana yang dibuat oleh Bank Rakyat.
Tahniah kepada Bank Rakyat.
Tabung Haji ini di antara contoh, saya hendak tanya betul atau tidak Pengurus Besar Tabung Haji menerima elaun sebulan campur sebagai CEO Tabung Haji dan anak- anak syarikat sana sini dan semua elaun mesyuarat betul atau tidak RM300,000 sebulan?
Saya hendak tanya. Jikalau tidak betul alhamdulillah, kalau betul RM300,000 bayar dividen 5 ke 6 peratus sahaja. Saya hendak tanya betul atau tidak sebab saya dapat maklumat katanya RM300,000. Inilah syarikat-syarikat GLC yang kita harap dapat menjana ekonomi kaum bumiputera tetapi dia individu senanglah dengan begitu besar tetapi dividennya begitu kecil. Saya minta hal ini dijawab.
Begitu juga dengan agensi-agensi kerajaan yang lain bukan setakat Tabung Haji sahaja, itu saya beri contoh. Juga dalam membantu bumiputera saya hendak bangkitkan di sini Tuan Yang di-Pertua, termasuk Tenaga Nasional dalam usaha membantu vendor. Saya hendak beri contoh, dahulu ada ditawarkan wujud syarikat vendor untuk membeli syarikat Transformer kepada syarikat ZANWA Sdn. Bhd. malah TNB tubuh sendiri syarikat Transformer, anak syarikat TNB sendiri. Dulu diberi projek, maknanya membeli transformasi ini nilainya tinggi. Akan tetapi akhir sekali sesudah PNB melabur dalam syarikat contohnya ZANWA ini, RM19 juta dan modal syarikat ini pun hampir RM62 juta, sekali dapat lepas itu sudah tidak dapat. Dengan anak syarikat TNB sendiri pun mereka tidak beri dan mereka beri kepada main contractor, sebab apa? Sebab kononnya harga itu murah sedikit.
Saya menyiasat ZANWA, syarikat bumiputera kemukakan tawaran atas dasar dua unit, maka berbeza 8 peratus dengan harga yang ditawarkan oleh syarikat luar negara.
Akan tetapi kalau diberi order itu lebih daripada dua unit, mungkin 10 atau 15 harga mungkin sama dan dibuat di negara kita. Manufactured in our country.
Dato’ Ibrahim Ali - Pasir Mas
Kita hendak memajukan industri SME tempatan tetapi TNB beli di luar negara atas dasar kononnya murah, dengan anak syarikatnya pun tidak beli. Saya hendak tanya apakah mungkin ini adalah satu permainan pihak-pihak tertentu di atas pengurusan mengaut komisen, saya tidak tuduh tetapi kemungkinan berlaku sebab ia syarikat luar negara menawarkan harga pakej. Dahulu sebelum harga vendor, TNB beli Transformer lain dan bateri lain, asing-asing. Bila ada vendor sekarang ini sudah di pakej sekali. Kita tengok dari segi harga waktu buat tawaran harga-harga lain ini nampaknya murah dan harga ini nampak mahal. Akan tetapi harga barang yang saya sebut Transformer nampaknya paling tinggi, tetapi mereka menyelami harga ini dalam tender pakej main contractor dan akhir sekali vendor ini mati semua sekali.
Ini juga tidak ketulusan tokoh-tokoh CEO dalam membantu kepentingan kaum bumiputera. Ini jelas bagi saya, kalau Yang Berhormat Menteri yang bertanggungjawab hendak duduk bincang, berdiskusi dan meja bulat anytime, anyplace at anywhere, saya boleh buktikan bahawa ini tidak telus dalam soal melaksanakan tanggungjawab dalam membantu kaum bumiputera. Sudahlah mereka ini melabur berjuta-juta tetapi diketepikan dengan begitu sahaja.
Saya hendak sebut contoh begitu juga kita tengok Tuan Yang di-Pertua, ini pun satu perkara yang saya hendak bangkit mengenai dengan Hospital Prince Court di bawah Petronas yang begitu cantik dan indah, yang saya baca laporan, rugi RM200.325 juta.
Hospital ini diuruskan oleh Vamed Healthcare. Jadi mengapa ini boleh berlaku? Ada kena mengena dengan pihak Vamed Healthcare dan ada syarikat bumiputera juga membuat tawaran tetapi diketepikan. Kos ini terus meningkat dan hospital ini telah dibuka dan ditanggung, mungkin oleh duit Petronas. Jadi ini pun kalau kita bangkitkan – saya bukan hendak dedahkan tidak tentu fasal sebab saya ada maklumat.
Tuan Yang di-Pertua, di pejabat saya sekarang ini tidak boleh hendak buat kerja lain, ada sahaja start pukul sembilan pagi satu group. Pukul 10, 11, 12 dan sampai petang, macam-macam kumpulan dengan detail dan dokumen yang keluar air mata menangis seperti saya cakapkan tadi, sedih. Akan tetapi semua ini berlaku dan saya harap prihatinlah sebab saya bukan cakap sebab soal undi, saya bercakap bukan soal mana-mana kepentingan parti politik, saya bercakap atas prinsip rakyat mesti didahulukan. Ini yang saya pegang dan saya junjung. Inilah saya harap perkara diberi perhatian oleh pihak kerajaan.
Timbalan Yang di-Pertua - Datuk Dr. Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar
Ada dua minit lagi Yang Berhormat.
Dato’ Ibrahim Ali - Pasir Mas
Banyak lagi Tuan Yang di-Pertua ini.
Timbalan Yang di-Pertua - Datuk Dr. Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar
Ada dua minit lagi Yang Berhormat.
Dato’ Ibrahim Ali - Pasir Mas
Tuan Yang di-Pertua, tidak boleh sambung esok sedikit, merayu sebab sebelum ini saya tidak dapat berucap waktu perbahasan belanjawan sebab belah jantung. Saya kalau boleh hendak sambung dua minit esok, saya hendak sambung paling tinggi pun 10 minit lagi sebab ada perkara-perkara yang saya hendak sambung, saya takut tidak habis.
Tuan Yang di-Pertua, selain daripada itu saya hendak minta juga kerajaan kaji balik kelulusan 45,000 pekerja asing daripada India yang dikatakan sangat diperlukan ini supaya berhati-hati bukan kerana kaum, tidak. Akan tetapi atas dasar keperluan mana yang saya hendak tahu sebab kita sudah tahu banyak sudah masalah sosial yang kita hadapi.
Kaji balik dan jangan terburu-buru kerana selama ini kita sudah tahu banyak masalah dengan pekerja asing ini. Tengok mengapa orang-orang tempatan tidak mahu bekerja kerana gaji? Tolong kaji balik soal gaji. Kita mudah bercakap soal gaji minimum dan seumpamanya, kalau gaji RM300 hingga RM400 macam mana kerajaan dapat mengatasi sebab kalau banyak ini punya gaji memang tidak mungkin dapat hidup menampung keluarga. Jikalau rakyat luar pun datang ke sini dengan gaji yang sama, mereka tidak cukup maka mulalah timbul masalah sosial mencuri, meragut dan macam-macam tidak balik ke negara asal. Saya minta perkara ini dikaji semula sebab masa tidak ada.
Dato’ Ibrahim Ali - Pasir Mas
Seterusnya tanah rizab Melayu Tuan Yang di-Pertua, saya minta maklumat dengan kerajaan sebab dalam Perlembagaan Negara di bawah Fasal 89, setiap masa tanah milikan negara kita ini mesti di bawah tangan orang Melayu 60 peratus. Jika ada tanah rizab Melayu diambil untuk projek-projek awam, maka ia diganti mengikut saiz yang sama dengan nilai yang sama. Apakah ada tanah rizab Melayu yang belum lagi diganti dan sebagainya? Jikalau tanah rizab Melayu ada di KLCC, 1600 kaki Tuan Yang di-Pertua?
Timbalan Yang di-Pertua - Datuk Dr. Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar
Ya, gulung Yang Berhormat.
Dato’ Ibrahim Ali - Pasir Mas
Ya.
Timbalan Yang di-Pertua - Datuk Dr. Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar
Ya.
Dato’ Ibrahim Ali - Pasir Mas
Boleh saya tambah? Boleh saya sambung esok 10 minit merayu secara peribadi? Boleh Tuan Yang di-Pertua? Please, saya tidak akan buang masa sedikit sahaja untuk saya gulung esok, boleh atau tidak?
Timbalan Yang di-Pertua - Datuk Dr. Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar
Ringkas sahaja Yang Berhormat.
Dato’ Ibrahim Ali - Pasir Mas
Ya, insya-Allah. Terima kasih. Saya sambung tidak panjang esok. Saya mahu habiskan dari segi rumusan. Terima kasih. Boleh berhenti, tamat? Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Datuk Dr. Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar
I kata angguk, beri seminitlah Yang Berhormat... [Ketawa] Tidak mahu? Sambung lagi satu minit.
Dato’ Ibrahim Ali - Pasir Mas
Esok 5 minitlah. 5 minit masa kecederaan sedikit sahaja. Saya pun tidak akan buang masa. Saya sekarang ini serius dan saya tidak suka main-main. Sedikit sahaja, esok saya habiskan untuk rumusan.
Timbalan Yang di-Pertua - Datuk Dr. Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar
Baik Yang Berhormat.
Dato’ Ibrahim Ali - Pasir Mas
Okey, thank you.
Timbalan Yang di-Pertua - Datuk Dr. Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar
Ya.
Dato’ Ibrahim Ali - Pasir Mas
Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Datuk Dr. Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar
Yang Berhormat Pasir Mas telah habis, tidak ada orang berdirikah? Ya.
Dato’ Ibrahim Ali - Pasir Mas
Tuan Yang di-Pertua, belum habis lagikah?
Timbalan Yang di-Pertua - Datuk Dr. Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar
Sudah habis Yang Berhormat. Yang Berhormat, saya beri...
Dato’ Ibrahim Ali - Pasir Mas
Tidak. Saya fikirkan masa Parlimen telah tangguh untuk esok. Kalau tidak, saya habiskan pendek sahaja lagi ini.
Timbalan Yang di-Pertua - Datuk Dr. Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar
Tidak, habis hari ini.
Dato’ Ibrahim Ali - Pasir Mas
Habis hari ini?
Timbalan Yang di-Pertua - Datuk Dr. Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar
Sudah habis.
Dato’ Ibrahim Ali - Pasir Mas
Hari ini saya mahu sambung sedikit sahaja. Mahu rumuskan ini. Boleh saya rumuskan?
Puan Chong Eng - Bukit Mertajam
[Ketawa]
Dato’ Ibrahim Ali - Pasir Mas
Sedikit sahaja Tuan Yang di-Pertua. Saya terkilan betul kalau saya tidak habiskan ini. Sedikit sahaja. Saya mahu rumuskan.
Dato’ Ibrahim Ali - Pasir Mas
Sebentar tadi hal tanah negara. Saya minta dinilai tanah berdasarkan kepada lokasi bukan di atas status tanah dan ini barulah betul dan adil.
Seterusnya, Tuan Yang di-Pertua saya mahu tanya mengenai halal hub di kawasan saya Parlimen Pasir Mas yang dahulu diumumkan di bawah ECER. Saya lihat tidak ada apa-apa pun pergerakan seperti sekarang ini.
Akhir sekalilah oleh kerana masa tidak ada Tuan Yang di-Pertua, saya ingin mencadangkan apakah penganugerahan pengiktirafan kerajaan kepada Allahyarham Tun Ibrahim Ismail? Seorang Pahlawan Negara yang kembali ke rahmatullah baru-baru ini. Dia dimakamkan di Pahlawan Negara. Akan tetapi saya cadangkan diadakan galeri untuk Allahyarham Tun Ibrahim Ismail kerana sejarah perjuangannya boleh membantu menyedarkan anak muda. Galeri ini juga disekalikan dengan Galeri Leftenan Adnan kerana Leftenan Adnan yang dahulu berlawan dengan Jepun juga tidak menerima apa-apa anugerah termasuk Pingat Gagah Berani walaupun dia telah meninggal. Sepatutnya kita mengiktiraf supaya menjadi kebanggaan kita dan juga keluarganya. Apabila dapat PGB, maka dia dapat pencen.
Ia juga tidak diberi dan saya harap juga ada jalan di Kuala Lumpur seperti Jalan Ipoh ditukar nama kepada Jalan Tun Ibrahim Ismail dan satu jalan untuk Leftenan Adnan.
Ini termasuk galeri yang saya cadangkan tadi dan juga saya cadangkan diwujudkan Institusi Kesultanan Melayu dan juga Muzium Kepahlawanan Negara kita tidak kiralah apa bangsa pun asalkan ada galeri kepahlawanan termasuklah kita mahu lihat sejarah-sejarah Datuk Maharaja Lela, Mat Kilau, Rosli Dhobi, Datuk Salleh, Tok Janggut, dan semua sekali termasuk juga sejarah pahlawan-pahlawan moden dan juga mantan Tun Dr. Mahathir kah masuk semua sekali. Ia diupdatedkan selalu muzium ini supaya ia menjadi rangsangan untuk generasi akan datang termasuk yang tua-tua sekarang ini pun tidak berapa tahu sejarah ini.
Oleh sebab itu kadang-kadang berlaku macam-macam. Jadi, akhir sekali saya minta juga kerajaan kaji semula saman ekor ini dan juga mengenai dengan kenaikan harga barang. Apa pun yang dibuat, itu dan ini tetapi kalau harga barang naik rakyat tidak tahu dan tidak faham. Globalkah atau tidak, dia mudah dihasut nanti kalau harga barang naik.
Saman ekor pun sama juga. Jadi, Tuan Yang di-Pertua, saya merumus satu lagi, Konsep 1Malaysia. Saya harap janganlah ada lagi mana-mana pihak cuba memanipulasikan Konsep 1Malaysia ini. Ini juga akhirnya saya rumus mengenai ucapan Seri Paduka Baginda. 1Malaysia ada pihak mengatakan agama, hak, dan serba serbi sama rata.
Ini 1Malaysia. Satu pihak pula kata kalau mahu 1Malaysia, hapus sekolah vernakular, begitulah, dan begini bertembung dan inilah akan berlarutan yang saya katakan dalam awal ucapan saya tadi. Ia di confuse, diambil kesempatan masing-masing menterjemah. Ada pula kerana 1Malaysia mahu hapus dalam borang jangan tulis bangsa dan agama yang dibuat oleh Yayasan 1Malaysia. Ini 1Malaysia tidak ada kena-mengena dengan yang ini. Perlembagaan kita pun Tuan Yang di-Pertua, hak istimewa Melayu perlu tulis bangsa dengan Islam ini. Oh, boleh kenal pada nama dan tidak boleh kenal. Nama anak-anak moden sekarang ini Tuan Yang di-Pertua, cawan campur pinggan jadi caping.
Rupanya Melayu tetapi anaknya jadi moden. Nama-nama pelik-pelik yang tidak tahu dia ini anak Melayu. Dahulu Ismail, Ibrahim, Dollah, dan semua begitu. Oleh sebab itu saya mahu kekalkan. Saya buat cadangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri melenting marah pada saya dan PERKASA. Cabar suruh PERKASA bertanding pilihan raya dan suruh saya bertanya lawan dia di Padang Rengas.
Dia orang kuat saya tidak kuatlah. Akan tetapi atas dasar gurauan kalau betul Yang Berhormat Menteri ini beria sangat jangan bertanding di Padang Rengas atau Pasir Mas, cari kawasan 80 peratus orang Melayu jangan orang lain masuk campur. Saya mahu bertanding lawan Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri ini.
Timbalan Yang di-Pertua - Datuk Dr. Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar
Baik Yang Berhormat.
Dato’ Ibrahim Ali - Pasir Mas
Okey, terima kasih. Saya sambut baik dan menyokong Titah Ucapan Diraja Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di- Pertuan Agong dan ucap tahniah kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dan kerajaan kerana kejayaan yang besar Barisan Nasional di Merlimau dan juga Kerdau.
Terima kasih. Wabillahitaufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullaahi wabarakaatuh.
Timbalan Yang di-Pertua - Datuk Dr. Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar
Ya, Yang Berhormat Bukit Mertajam, saya buat rekod di sini Yang Berhormat. Sambung esoklah ya.
Ahli-ahli Yang Berhormat, Mesyuarat Dewan hari ini ditangguhkan sehingga pukul 10 pagi, hari Rabu, 9 Mac 2011.
Dewan ditangguhkan pada pukul 5.36 petang.
Timbalan Yang di-Pertua - Datuk Dr. Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar
DR 8.3.2011 I