Katalog Hansard
[Timbalan Yang di-Pertua (Datuk Ronald Kiandee) mempengerusikan Mesyuarat]
Aziz]: Tuan Yang di-Pertua, saya mohon mencadangkan:
“Bahawa mengikut Peraturan Mesyuarat 12(1) Majlis Mesyuarat pada hari ini tidak akan ditangguhkan sehingga selesai pembentangan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesembilan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dicadangkan dan disokong dan selepas itu Majlis Mesyuarat akan ditangguhkan sehingga jam 10.00 pagi, hari Isnin, 30 Jun 2008.”
Menteri Pengangkutan - Datuk Ong Tee Keat
Tuan Yang di-Pertua, saya mohon menyokong.
Timbalan Yang di-Pertua - Datuk Ronald Kiandee
Ahli-ahli Yang Berhormat, sekarang saya kemukakan masalah kepada Majlis untuk diputuskan.
Masalahnya ialah usul seperti yang dikemukakan tadi hendaklah disetujukan.
Usul dikemuka bagi diputuskan, dan disetujukan.
1. Datuk Haji Baharum bin Haji Mohamed [Sekijang] minta Menteri Pengangkutan menyatakan berapakah hasil kutipan sewa tanah milik KTM (Kereta Api Tanah Melayu) yang telah dibuat pada tahun 2003, 2004, 2005, 2006 dan 2007 di Malaysia dan Singapura.
Menteri Pengangkutan - Datuk Ong Tee Keat
Tuan Yang di-Pertua, tanggungjawab pentadbiran tanah-tanah kereta api adalah terletak atas dua agensi iaitu Kereta Api Tanah Melayu Berhad ataupun KTMB dan Perbadanan Aset Kereta Api ataupun PAK. KTMB bertanggungjawab atas tanah operasi manakala PAK bertanggungjawab atas tanah rizab dan tanah bukan operasi.
Bagi tanah-tanah operasi di bawah pentadbiran KTMB, jumlah kutipan sewa bagi tahun 2003, 2004, 2005, 2006 dan 2007 adalah seperti berikut:
| TAHUN | HASIL SEWA (RM/JUTA) | |||
|---|---|---|---|---|
| 2003 | 20.4 | |||
| 2004 | 24.1 | |||
| 2005 | 21.5 | |||
| 2006 | 22.5 | 2007 | 20.0 |
Menteri Pengangkutan - Datuk Ong Tee Keat
Bagi tanah-tanah rizab dan bukan operasi di bawah pentadbiran PAK.
Pentadbiran dan kutipan sewa secara aktif dan sistematik oleh PAK hanya dilakukan mulai tahun 2005. Jumlah kutipan sewa bagi tahun 2005 hingga 2007, adalah seperti berikut:
| TAHUN | HASIL SEWA (RM) | |||
|---|---|---|---|---|
| 2005 | 130750 | |||
| 2006 | 197450 | 2007 | 381616 |
| TAHUN | HASIL SEWA (RM) |
|---|---|
| 2005 | 120700 |
| 2006 | 1.13 juta |
| 2007 | 1.382 juta |
Maka jumlah kutipan hasil tanah oleh KTMB yang ditadbir oleh KTMB dan PAK dalam tempoh tahun 2003 hingga tahun 2007 adalah seperti berikut:
| TAHUN | JUMLAH BESAR (RM/JUTA) |
|---|---|
| 2003 | 20.40 |
| 2004 | 24.10 |
| 2005 | 21.75 |
| 2006 | 23.83 |
| 2007 | 21.76 |
Sekian.
Datuk Haji Baharum bin Haji Mohamed - Sekijang
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua dan terima kasih kepada Yang Berhormat Menteri yang menjawab soalan saya tadi. Soalan tambahan saya. Saya mendapati bahawa tanah-tanah KTM ini terutamanya yang terdapat di kiri, kanan landasan ini, banyak yang tidak terurus dengan baik.
Di tempat-tempat yang ada penyewanya, maka teranglah dia, tetapi di tempat yang tidak ada penyewa di kiri kanan jalan ini, semak-samun, tempat sarang nyamuk, sarang tikus, sarang dadah dan sebagainya...
Timbalan Yang di-Pertua - Datuk Ronald Kiandee
Soalannya Yang Berhormat.
Datuk Haji Baharum bin Haji Mohamed - Sekijang
Jadi soalannya Tuan Yang di-Pertua, kalaulah, saya tidak kiralah berapa agensi yang kutip, tetapi saya dengar tadi berjuta yang disebutkan oleh Yang Berhormat Menteri ini. Kalau kutipan sewanya pun banyak, mengapa duit ini tidak disalurkan untuk membersihkan kawasan- kawasan tersebut? Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Datuk Ong Tee Keat
Tuan Yang di-Pertua, saya ucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Sekijang atas tegurannya. Apa yang dibangkitkan tadi itu adalah keadaan di mana tidak terurus baik, kononnya.
Saya ingin maklumkan Dewan yang mulia ini sesungguhnya, ini juga merupakan teguran pihak kementerian kepada pihak KTMB dan juga PAK supaya apa yang telah pun disewa, belum disewa ataupun belum disewakan kepada pihak lain kenalah diurus tadbir termasuk juga keadaan kebersihannya.
Datuk Ong Tee Keat
Walaupun demikian suka saya nak maklumkan Yang Berhormat Sekijang bahawa, kadangkala terdapat juga tanah-tanah kosong, ataupun tanah terbiar yang tidak semestinya dalam bidang kuasa KTMB ataupun PAK. Kadangkala petak-petak tanah yang bersebelahan dengan tanah KTMB itu pun mudah juga disalah anggap sebagai tanah KTMB. Sebenarnya tidak semestinya benar. Sekian.
Timbalan Yang di-Pertua - Datuk Ronald Kiandee
Yang Berhormat Arau.
Dato' Ismail Kasim - Arau
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua dan Yang Berhormat Menteri. Arau ada kereta api. Saya ingin bertanya Yang Berhormat Menteri berhubung dengan kedudukan atau status tanah KTMB ini. Kalau saya difahamkan selepas yang di corporatized, kita lihat tanah ini diberi hak ataupun title atas milik KPTG.
Ini bermakna apabila syarikat ini telah dicorporatized, bermakna kata KTMB mesti membayar sejumlah premium tertentu kepada kerajaan bagi mereka mendapat hak sebenar terhadap tanah tersebut. Jadi memandangkan KTMB telah mendapat sewa ataupun hasil daripada tanah-tanah yang diberikan hak kepada mereka, maka bermakna mereka mesti, kalau sekiranya ada premium tertunggak yang belum dijelaskan setakat ini dengan pihak kerajaan, ia mesti dibuat dengan kadar yang segera.
Jadi saya ingin tanya Yang Berhormat, adakah status tadi telah diubah kepada hak sepenuhnya kepada pihak KTMB Sdn Bhd.?
Datuk Ong Tee Keat
Tuan Yang di-Pertua, sebenarnya soalan tadi itu lebih merupakan andaian. Kalaulah ia masih lagi di bawah kelolaan KPTG, dan berapa tunggakannya. Sebenarnya saya suka juga mempelawa Yang Berhormat kiranya terdapat fakta-fakta ataupun perangkaan yang terkini mengenai tunggakan yang dimaksudkan itu, saya memang dan sanggup menyusulinya.
Dato’ Ismail Kasim - Arau
Maksud saya Yang Berhormat sebab apabila sebuah syarikat diswastakan ataupun di corporatized, statusnya, mereka mesti menjelaskan sebuah premium kepada kerajaan tetapi banyak syarikat swasta seperti Pos Malaysia, Padi Beras Nasional Berhad, KTMB, mereka tidak membuat demikian.
Jadi saya nak tanya Yang Berhormat, adakah pihak KTMB telah membuat penjelasan premium itu kepada pihak kerajaan? Itu sahaja.
Datuk Ong Tee Keat
Tuan Yang di-Pertua, sesungguhnya apa yang saya dimaklumkan setakat ini, pihak KTMB tetap menurut apa yang dikehendaki termasuk juga apa yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat. Akan tetapi kiranya ada penyewaan atau pajakan tanah yang bukan dalam bidang kuasa KTMB atau PAK, maka saya tak ada maklumatlah. Itu saya kena jelaskan.
Timbalan Yang di-Pertua - Datuk Ronald Kiandee
Yang Berhormat Puan Teo Nie Ching.
2. Puan Teo Nie Ching [Serdang] minta Menteri Kerja Raya menyatakan apakah kemajuan pembinaan terowong yang telah dipersetujui di Kajang Utama/Kajang Sentral untuk merentasi lebuh raya SILK dan sebab kelewatan untuk pembinaan tersebut.
Menteri Kerja Raya - Dato’ Ir. Mohd. Zin bin Mohamed
Tuan Yang di- Pertua, untuk makluman Ahli Yang Berhormat, semasa mereka bentuk lebuh raya ini, satu pusingan U telah pun disediakan sebelum plaza tol untuk penduduk-penduduk taman di persekitaran untuk merentasi lebuh raya SILK.
Pada masa sekarang penduduk-penduduk dari Taman Kajang Utama boleh merentasi lebuh raya SILK dengan membuat pusingan U sebelum Plaza Tol Bukit Kajang yang terletak lebih kurang 2km daripada simpang Taman Kajang Utama. Pihak kementerian melalui Lembaga Lebuh Raya Malaysia sedar dan faham mengenai permintaan penduduk tempatan supaya menyediakan terowong untuk merentasi Lebuh raya SILK ini bagi memudahkan serta memendekkan perjalanan mereka.
Pihak kementerian secara asasnya telah menyediakan lukisan konsep terowong, secara detail nya belum lagi dan pembinaan terowong, dan kita akan jangkakan jikalau kerjanya berjalan di tapak bina, ia akan mengambil masa 18 bulan untuk dilaksanakan, tapi sehingga kini kita masih lagi menunggu kelulusan peruntukan.
Timbalan Yang di-Pertua - Datuk Ronald Kiandee
Yang Berhormat Serdang.
Puan Teo Nie Ching - Serdang
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Saya juga faham bahawa satu pusingan U telah disediakan. Namun sekarang 7,000 penduduk-penduduk Taman Kajang Utama terpaksa menempuh laluan sejauh 5km untuk pergi ke Bandar Kajang sedangkan kawasan perumahan mereka hanya 500m dari Bandar kajang.
Pusingan U itu juga adalah amat berbahaya kerana kenderaan dipandu dengan laju di lebuh raya itu. Juga nilai rumah di Taman Kajang Utama telah turun secara drastik. Sekarang ini telah turun sebanyak RM40,000. Jadi soalan saya ialah sedarkah kementerian bahawa kegagalan kerajaan untuk memasukkan pembinaan terowong ini dalam skop perjanjian konsesi telah mengakibatkan kerugian masa, kerugian keselamatan dan kerugian wang. Bila baru kementerian akan bina yang terowong itu, yang ambil masa 18 bulan itu?
Dato’ Ir. Mohd. Zin bin Mohamed
Baik Yang Berhormat. Yang Berhormat, pada asanya apa yang disuarakan oleh Yang Berhormat mengenai dengan izinlah, teknikal parameternya agak kurang apa ni, kebenarannya. Sebab utama jajaran jalan raya ini bukan jajaran yang lama dinaiktaraf. Dia merupakan jajaran baru.
Yang kedua, kawasan ini dulunya kalau mereka hendak ke Bandar Kajang, dia kena melalui jalan yang dibuat yang kita sifatkan sebagai jalan PBT. Jalan Kerajaan Tempatan. Ia tidak melalui jalan utama. Ini adalah satu jajaran yang dibuat berasaskan prinsip jalan yang betul. Ia bukan merupakan close toll tetapi dia open toll.
Untuk makluman Yang Berhormat, jumlah trafik yang menggunakan laluan balik ke Taman Kajang Utama, data yang terakhir yang saya dapat daripada Lembaga Lebuh Raya pagi ini cuma melibatkan 2,000 kenderaan. Alasan mengatakan U-turn yang dibina sebelum jalan tol itu melibatkan tentang aspek keselamatan jalan raya, itu tak benar sebab pusingan U-turn ini bukan dibuat dengan izin after thought, dia satu pusingan yang memang secara reka bentuknya bila dibuat jajaran ini adalah termaktub dalam asas pertimbangan untuk mengadakan lebuh raya ini.
Timbalan Yang di-Pertua - Datuk Ronald Kiandee
Yang Berhormat Datu Seri Joseph Pairin Kitingan.
[Soalan No.3 - Y.B. Datu Seri Joseph Pairin Kitingan (Keningau) tidak hadir]
4. Tuan Johari bin Abdul [Sungai Petani] minta Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna menyatakan:
(a) adakah kementerian akan mengawal pembukaan supermarket dan hypermarket di sesebuah bandar agar peniaga-peniaga kecil boleh bernafas: dan
(b) apakah faedah jangka masa panjang jika terlalu banyak supermarket dan hypermarket yang beroperasi di Malaysia sedangkan kebanyakannya bukan milik rakyat Malaysia.
Timbalan Yang di-Pertua - Datuk Ronald Kiandee
Sila Menteri.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna - Tuan Jelaing anak Mersat
Terima kasih Datuk Speaker dan terima kasih Yang Berhormat Sungai Petani. Garis panduan penyertaan asing di dalam sektor perdagangan, pengedaran 2004 jelas memberikan penerangan terhadap penyertaan asing ke dalam sektor perdagangan pengedaran negara khususnya bagi pengusaha hypermarket asing.
Selama ini, sebarang keputusan bagi pembukaan hypermarket akan dibuat oleh Kementerian menerusi Jawatankuasa Perdagangan Pengedaran yang berperanan untuk mempertimbangkan sebarang permohonan dari pengusaha hypermarket asing.
Keputusan tersebut juga dibuat berdasarkan syor serta nasihat daripada kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan yang memberi pandangan dari aspek perancangan bandar serta pelan indikatif pembangunan di negeri masing-masing.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna - Tuan Jelaing anak Mersat
Walau bagaimanapun, kerajaan juga mengalu-alukan supermarket dan hypermarket tempatan untuk berkembang selaras dengan dasar-dasar kerajaan yang sedia ada bagi menggalakkan penyertaan di dalam sektor perdagangan pengedaran ini. Penyertaan asing dalam sektor perdagangan pengedaran seharusnya digalakkan dalam subsektor di mana ada pelaburan yang besar, pemindahan teknologi dan kepakaran dan juga pengurusan moden.
Pengawalan yang sistematik serta pendekatan yang berani tanpa menjejaskan perkembangan ekonomi negara dan penyertaan rakyat tempatan perlu diambil oleh kementerian dalam memastikan pasaran subsektor di dalam perniagaan perdagangan pengedaran tidak dimonopoli oleh syarikat berkepentingan asing. Dalam hal ini sektor perkhidmatan adalah antara penyumbang terbesar kepada kadar Keluaran Dalam Negara Kasar iaitu KDNK sebanyak 50%.
Di bawah sektor perkhidmatan subsektor perdagangan pengedaran, negara mencatatkan pertumbuhan sebanyak 12.4% pada suku tahun pertama tahun 2008.
Pelaburan terus asing seperti hypermarket, supermarket dan departmental store telah mencatatkan nilai melebihi RM2.8 bilion bagi tahun 2007 sahaja. Keadaan ini jelas menunjukkan bahawa penyertaan asing di dalam sektor perdagangan pengedaran memainkan peranan yang penting terhadap pertumbuhan ekonomi negara.
Antara kesan jangka panjang hypermarket asing ialah:
(i) kemasukan terus pelaburan asing secara konsisten;
(ii) pemindahan teknologi;
Timbalan Yang di-Pertua - Datuk Ronald Kiandee
Yang Berhormat Timbalan Menteri, yang itu tidak ditanya. Kesannya itu tidak ditanya dalam soalan.
Ringkaskan.
Tuan Jelaing anak Mersat
Soalan (b) kah? Apakah faedah jangka panjang jika terlalu banyak supermarket dan hypermarke? Boleh saya teruskan, Tuan Yang di- Pertua?
Timbalan Yang di-Pertua - Datuk Ronald Kiandee
Ya, teruskan.
Tuan Jelaing anak Mersat
(iii) pengenalan format-format baru perdagangan pengedaran seperti pembinaan pusat pengedaran setempat di dalam rantaian pengedaran borong dan runcit; dan
(iv) pemakaian secara optimum guna tenaga tempatan.
Walau bagaimanapun jua, kementerian sentiasa memantau serta meneliti sebarang permohonan oleh pengusaha asing bagi membuka supermarket dan hypermarket menerusi garis panduan yang telah ditetapkan agar keseimbangan dan kepentingan ekonomi negara sentiasa terjaga. Kementerian juga serius dalam memastikan penyertaan menyeluruh dan progresif pengusaha tempatan di dalam sektor ini.
Timbalan Yang di-Pertua - Datuk Ronald Kiandee
Baik. Yang Berhormat Sungai Petani.
Tuan Johari bin Abdul - Sungai Petani
Tuan Yang di-Pertua, soalan tambahan saya ialah apabila kerajaan meneruskan sesebuah supermarket ataupun hypermarket di tempat-tempat tertentu, bolehkah kerajaan pastikan bahawa syarat- syarat ditetapkan supaya pertama, produk tempatan diambil kira untuk dipamerkan di dalam supermarket ataupun hypermarket ini.
Kedua, pekerja-pekerja khususnya di peringkat pengurusan (management) bukan setakat menjadi tukang sapu ataupun jaga - diambil kira juga supaya penyertaan daripada anak tempatan ini dimasukkan dalam syarat untuk ditubuhkan supermarket ataupun hypermarket di tempat-tempat tertentu. Terima kasih.
Tuan Jelaing anak Mersat
Terima kasih, Yang Berhormat Sungai Petani.
Tuan Yang di-Pertua, apabila supermarket ataupun hypermarket ditubuhkan di sesuatu kawasan jawatankuasa mengadakan perundingan dengan kerajaan tempatan dan kerajaan negeri. Baru-baru ini saya sendiri telah pergi ke Giant Supermarket di Melaka untuk merasmikan penempatan hasil daripada SME kita di Malaysia di sini. Pada masa itu ada lebih kurang 15 buah syarikat tempatan.
Tuan Jelaing anak Mersat
Mengenai soalan kedua tadi, kementerian memang memberi peluang kepada anak-anak tempatan di peringkat bahagian pengurusan selain daripada graduan- graduan kita yang menjalani latihan di supermarket dan hypermarket. Sekian.
Timbalan Yang di-Pertua - Datuk Ronald Kiandee
Yang Berhormat Tenggara.
Beberapa Ahli
Wah!
Datuk Halimah binti Mohamed Sadique - Tenggara
Terima kasih, Tuan Yang di-Pertua. Tidak sia-sia saya pakai baju yang warnanya sama dengan tali leher.
Timbalan Yang di-Pertua - Datuk Ronald Kiandee
Tidak ada kena mengena tali leher dengan baju, Yang Berhormat.
Datuk Halimah binti Mohamed Sadique - Tenggara
Bertenang, Ahli-ahli Yang Berhormat. Bertenang. Tuan Yang di-Pertua, soalan saya.
Adakah kerajaan bercadang untuk menetapkan kuota sekurang-kurangnya 30% produk di pasar raya seperti hypermarket dikhususkan untuk produk IKS tempatan dan mewujudkan peraturan agar pasar raya-pasar raya besar ini menyeragamkan terma-terma perniagaan dengan semua IKS? Adakah kerajaan juga bercadang untuk mewujudkan satu akta peruncitan yang akan mengawal pasar raya yang besar ini?
Terima kasih.
Tuan Jelaing anak Mersat
Terima kasih, Yang Berhormat Tenggara. Tuan Yang di-Pertua, kementerian memang mengambil kira segala-galanya berkaitan dengan usaha SME kita ataupun PKS kita di Malaysia supaya mereka mengambil bahagian dalam perdagangan seperti ini dan mengatur segala peraturan di mana yang 30% ataupun lebih sekiranya diperlukan untuk ruang bagi PKS kita di Malaysia.
Sekian.
5. Tuan Alexander Nanta Linggi [Kapit] minta Menteri Pertahanan menyatakan perjanjian-perjanjian pertahanan kita dengan negara lain di mana perjanjian-perjanjian ini adalah penting ke arah kestabilan dan keselamatan bukan sahaja untuk negara kita tetapi juga untuk seluruh rantau ini.
Timbalan Menteri Pertahanan - Datuk Wira Abu Seman Yusop
Terima kasih, Tuan Yang di-Pertua. Tuan Yang di-Pertua, terlebih dahulu saya ingin memohon untuk menjawab pertanyaan yang dikemukakan oleh Yang Berhormat Kapit pada hari ini bersekali dengan soalan yang dikemukakan oleh Yang Berhormat Ketereh pada 1 Julai 2008 bagi soalan no. 91 kerana kedua-duanya adalah berkaitan.
Timbalan Yang di-Pertua - Datuk Ronald Kiandee
Baik.
Datuk Wira Abu Seman Yusop
Terima kasih. Malaysia memang ada mempunyai perjanjian pertahanan iaitu Peraturan Pertahan Lima Negara atau dengan izin, Five Power Defence Arrangement atau ringkasnya FPDA yang dianggotai oleh Malaysia, Singapura, United Kingdom, New Zealand dan Australia.
FPDA ini merupakan loose consultative arrangement, dengan izin di mana sekiranya berlaku ancaman terhadap Malaysia atau Singapura, negara-negara anggota akan berunding bagi mengambil tindakan yang sewajarnya. Dengan lain perkataan, tiada obligasi secara automatik untuk mempertahankan Malaysia atau Singapura sekiranya terdapat ancaman.
Walau bagaimanapun, FPDA ini telah ditubuhkan pada tahun 1971. Namun Kementerian Pertahanan berpandangan bahawa, ia masih relevan kerana ia telah banyak menyumbang dalam mempertingkatkan tahap profesionalisme Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Usaha-usaha dalam mempertingkatkan profesionalisme ini adalah melalui eksais, bengkel, seminar, forum dan peluang bagi mengendalikan kelengkapan tentera yang canggih atau state of the art di bawah Peraturan Lima Negara ini yang diadakan dari semasa ke semasa.
Ia sekali gus telah memantapkan lagi inter-operability di kalangan tentera negara-negara anggota. Selain daripada menyumbang ke arah memantapkan benteng pertahanan negara, FPDA juga telah dapat mempertingkatkan lagi hubungan diplomatik dengan negara-negara anggota.
Timbalan Yang di-Pertua - Datuk Ronald Kiandee
Yang Berhormat Kapit.
Tuan Alexander Nanta Linggi - Kapit
Terima kasih, Tuan Yang di-Pertua.
Selain daripada perjanjian yang telah diberikan dalam jawapan itu adakah perjanjian pertahanan lain yang merangkumi negara-negara di rantau Asia Tenggara di mana Malaysia juga menjadi satu parti dalam perjanjian itu. Adakah perjanjian itu, kalau ada, di antara Malaysia dengan negara-negara lain memadai bagi mengelakkan peperangan? Ini adalah memandangkan ada beberapa isu yang mungkin boleh mencetus sesuatu keadaan kerana masih ada isu berkaitan kepulauan di sekeliling kita khasnya Kepulauan Spratly.
Kedua, sila nyatakan pendirian dan pendekatan Malaysia bagi menangani cabaran dan keperluan baru yang mungkin datang dari negara-negara yang membangun, yang sedang membangun dengan penuh keghairahan seperti Vietnam dan China, negara-negara yang banyak memfokuskan perhatian mereka kepada kawasan territory South China Sea ini. Terima kasih.
Datuk Wira Abu Seman Yusop
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Selain daripada mengadakan perjanjian pertahanan seperti mana yang telah dibuat di bawah FPDA ini, Malaysia juga mempunyai hubungan pertahanan dua hala melalui MoU ataupun peraturan dengan beberapa negara.
Terdapat 26 negara yang mana jalinan hubungan kerjasama pertahanan ini adalah dalam bidang-bidang yang boleh dikategorikan seperti kerjasama ketenteraan, kerjasama industri pertahanan, kerjasama dalam bidang sains pertahanan dan diplomatik pertahanan. Tahap kerjasama peraturan ini berbeza daripada satu negara ke negara yang lain.
Jadi dalam masalah menjaga keselamatan ini, ianya lebih kepada perjanjian yang telah kita buat di bawah FPDA ini. Jadi kalau apa-apa berlaku bahawa inilah perjanjian yang kita telah laksanakan di bawah FPDA ini akan berkuat kuasa seperti mana yang telah saya nyatakan. Walaupun berkuat kuasa, ianya bukannya satu tindakan automatik yang boleh diambil tindakan. Ianya akan dibuat selepas ada perundingan di antara negara-negara anggota.
Tuan Saifuddin Nasution bin Ismail - Machang
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Soalan tambahan. Di antara Malaysia dengan Singapura sudah tentu wujud juga perjanjian persefahaman tentang pertahanan. Mohon dinyatakan ada atau tidak peruntukan membenarkan pesawat-pesawat pejuang Singapura menggunakan ruang udara Malaysia untuk tujuan latihan? Jika ada, apa rasional kerajaan membenarkannya? Jika tidak, berapa pula kes pencerobohan ruang udara yang dilakukan oleh pasukan tentera udara Singapura selama ini?
Datuk Wira Abu Seman Yusop
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Berkaitan dengan perjanjian di antara Singapura dan Malaysia, seperti mana yang telah saya nyatakan tadi bahawa kita hanya ada secara loose arrangement melalui peraturan yang mana merupakan lebih kepada kerjasama dalam bidang ketenteraan. Dan ianya tidak merangkumi berkaitan dengan penggunaan ruang udara di kawasan Malaysia kita, bahawa dari semasa ke semasa apabila kita dapat mengetahui berkaitan dengan perkara ini, kita akan berhubung dengan pihak Singapura dan membuat bantahan berkaitan dengan perkara ini.
6. Dr. Mohd Hatta bin Md. Ramli [Kuala Krai] minta Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri menyatakan:
(a) jumlah dagangan antara Malaysia dengan negara-negara OIC sepanjang tempoh Malaysia menjadi Pengerusi OIC 2003-2008; dan
(b) sama ada Malaysia akan memberi keutamaan kepada hubungan dagang dengan negara-negara OIC berbanding dengan blok-blok ekonomi lain sebagai strategi perdagangan antarabangsa Malaysia.
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri I - Datuk Liew Vui Keong
Tuan Yang di-Pertua, izinkan saya menjawab soalan daripada Yang Berhormat Kuala Krai bersama-sama dengan soalan Yang Berhormat dari Machang yang telah dijadualkan pada 2 Julai.
Timbalan Yang di-Pertua - Datuk Ronald Kiandee
Baik, Yang Berhormat.
Datuk Liew Vui Keong
Jumlah dagangan antara Malaysia dengan negara- negara OIC sepanjang tahun 2003 hingga tahun 2008 ini ialah seperti berikut:
Pada tahun 2003, jumlah ialah RM46.1 bilion dan jumlah tersebut telah pun meningkat pada tahun 2004 kepada RM61.6 bilion dan jumlah ini terus meningkat pada tahun 2005 kepada RM70.1 bilion. Pada tahun 2006 pula jumlah ini telah pun meningkat kepada RM83.8 bilion dan pada tahun lalu, jumlah ini terus meningkat kepada RM95.3 bilion. Sehingga bulan April tahun ini, Tuan Yang di-Pertua, jumlah dagangan telah pun sampai kepada RM36.1 bilion.
Tuan Yang di-Pertua, kerajaan sentiasa memberi keutamaan kepada negara- negara OIC dalam strateginya untuk memperluaskan eksport kepada negara yang non- tradisi seperti EU, Amerika Syarikat dan lain-lain. Contohnya, pasaran di negara-negara Teluk adalah antara pasaran yang telah diberi tumpuan. Kerajaan telah menubuhkan pejabat MATRADE dan MIDA di Dubai untuk memudahkan negara merebut peluang pasaran dan pelaburan di negara-negara Teluk dan Timur Tengah.
Tuan Yang di-Pertua, langkah-langkah kerajaan dalam usaha untuk meningkatkan dagangan antara negara-negara OIC adalah mewujudkan kerjasama dua hala dengan negara-negara anggota OIC dan dengan menandatangani beberapa perjanjian. Langkah yang kedua ialah merundingkan Perjanjian Perdagangan Keutamaan iaitu dikenali sebagai Preferential Trade Agreement, dengan izin, dengan negara-negara membangun 8 iaitu G8 dan Sistem Perdagangan Keutamaan OIC.
Langkah ketiga yang telah diambil juga termasuk mengadakan misi galakan perdagangan dan pelaburan ke negara UAE, Bahrain, Saudi Arabia pada bulan Mac tahun lalu dan ke negara UAE, Kuwait dan Oman pada tahun ini. Langkah terakhir diambil ialah dengan mengadakan aktiviti promosi dan seminar pelaburan. Sekian, terima kasih.
Dr. Mohd. Hatta bin Md. Ramli - Kuala Krai
Terima kasih Tuan Yang di- Pertua dan terima kasih timbalan menteri. Dengan izin, ‘denge jawape’ (dengan jawapan) yang diberikan oleh Yang Berhormat Timbalan Menteri tadi, tentulah Dewan ingin mengetahui sama ada prestasi yang positif dan meningkat sepanjang tahun, sepanjang kita menjadi Pengerusi OIC ini akan diteruskan setelah kita tidak lagi menjadi Pengerusi OIC.
Mungkin kita hendak tahu itu, sebab sebelum ini pun kita menjadi antara penggerak G8 dan juga penggerak dalam beberapa perdagangan dua hala dengan negara-negara yang tidak konvensional seperti Selatan-Selatan. Soalan tambahan saya, Tuan Yang di-Pertua, ialah dalam suasana kegawatan ekonomi global hari ini dan juga yang akan mendatang, dengan kepelbagaian ketidaktentuan ekonomi dan juga serangan spekulator terhadap harga-harga barang komoditi, seperti petroleum yang memang kita lihat dalam dunia ini dianugerahkan kepada...
Timbalan Yang di-Pertua - Datuk Ronald Kiandee
Soalannya, Yang Berhormat.
Beberapa Ahli
Soalan, soalan.
Dr. Mohd. Hatta bin Md. Ramli - Kuala Krai
...Negara OIC, negara umat Islam. Soalan saya...
Beberapa Ahli
Soalan, soalan.
Timbalan Yang di-Pertua - Datuk Ronald Kiandee
Ya.
Dr. Mohd. Hatta bin Md. Ramli - Kuala Krai
Kalau gangguan ini, kena berdiri senyaplah. Jadi soale saya, Dewan ini ingin tahu dan saya juga ingin tahu.
Apakah rancangan kita yang selain daripada yang disebut oleh timbalan menteri tadi bagi memastikan bahawa dagangan antara negara-negara OIC ini mampu membentuk ataupun mampu membantu dan mengurangkan serta meringankan kesan negatif serangan spekulator ini, khususnya dalam menjaga kita punya sektor food security, dengan izin, dan juga kuasa petroleum yang ada pada negara kita. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Datuk Ronald Kiandee
Baik.
Datuk Liew Vui Keong
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua dengan soalan daripada Yang Berhormat Kuala Krai. Seperti Yang Berhormat sedia maklum, Malaysia baru sahaja menyerahkan jawatan pengerusinya kepada Senegal pada bulan Mac.
Jadi apa yang akan berlaku kepada penyerahan itu dan sama ada Senegal akan mengatasi pencapaian yang telah dibuat oleh negara kita ini, still kita masih menunggulah. Akan tetapi sejak Malaysia menjadi Pengerusi OIC ini, pendekatan telah dibuat untuk meliberalisasikan perdagangan, pelaksanaan liberalisasi perdagangan antara ahli-ahli negara OIC dan mengadakan program-program seperti pembangunan modal insan.
Ini adalah satu program yang membenarkan lagi commercial driven, dengan izin ataupun income generating project untuk mengatasi ekonomi-ekonomi yang baru- baru ini yang diadakan dengan globalization. Jadi program-program tersebut juga termasuk dengan program forbilasasi untuk pegawai-pegawai berkenaan, berkongsi pengetahuan di antara member country, mempromosikan organization excellent dengan izin, dan juga daya perdagangan Tuan Yang di-Pertua. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Datuk Ronald Kiandee
Yang Berhormat, Ledang.
Ir. Haji Hamim bin Samuri - Ledang
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Sebelum itu, ini ada amanah hendak mengucapkan selamat datang dulu kepada masyarakat daripada Felda Penghilir Timur bagi pihak Tenggara.
Soalan tambahan saya ialah, oleh sebab sekarang Senegal telah pun menjadi Pengerusi OIC, sejauh mana Malaysia yang selama ini pernah menjadi Pengerusi OIC dengan cemerlang bukan seperti yang didakwa oleh pihak pembangkang, boleh mempengaruhi Senegal untuk terus mencapai matlamat dan visi Malaysia selama ini sepanjang menjadi Pengerusi OIC? Sekian, terima kasih.
Datuk Liew Vui Keong
Terima kasih Yang Berhormat. Tuan Yang di-Pertua, tidaklah dapat dinafikan lagi bahawa Malaysia akan terus memberi sokongan yang penuh kepada Senegal untuk menjadi Pengerusi OIC yang cemerlang, gemilang dan terbilang. Terima kasih.
7. Tuan Matulidi bin Jusoh [Dungun] minta Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi menyatakan berapakah jumlah perbelanjaan yang telah dikeluarkan untuk membiayai latihan dan pinjaman kepada usahawan-usahawan bumiputera dan berapa ramai pula bilangan usahawan yang berjaya membuat bayaran balik dan sebaliknya.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi - Dato' Haji Noh bin Haji Omar
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Bagi merealisasikan sasaran kementerian dalam Rancangan Malaysia Kesembilan iaitu mewujudkan 150,000 usahawan baru dan memantapkan 25,000 usahawan sedia ada, MECD melalui INSKEN dan juga agensi- agensi di bawahnya seperti MARA, TEKUN, Bank Rakyat dan SME Bank telah membelanjakan sejumlah RM117.5 juta untuk membiayai program pembangunan latihan. Manakala jumlah pinjaman yang dikeluarkan untuk membangunkan usahawan adalah sebanyak RM10.3 bilion.
Jumlah peminjam yang telah berjaya membuat bayaran balik mengikut jadual yang telah ditetapkan kepada agensi-agensi pembiayaan di bawah kementerian ini ialah seramai 792,508 peminjam yang berjumlah RM5 bilion. Jumlah ini merupakan jumlah kumulatif, peminjam yang membayar balik secara berkala yang bukan sahaja dibayar dalam Rancangan Malaysia Kesembilan, tetapi juga tahun-tahun yang terdahulu.
Daripada jumlah pinjaman yang telah diluluskan, seramai 39,413 orang peminjam masih gagal menjelaskan pembiayaan pinjaman mengikut jadual berjumlah RM0.64 bilion. Sejumlah RM4.66 bilion merupakan jumlah pinjaman dikeluarkan yang sedang dikutip daripada 69,317 peminjam pada masa kini. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Datuk Ronald Kiandee
Yang Berhormat bagi Dungun.
Tuan Matulidi bin Jusoh - Dungun
Terima kasih Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua dan Yang Berhormat Menteri. Soalan tambahan, apakah langkah- langkah kementerian dalam membentuk jaringan antara usahawan-usahawan bumiputera supaya lebih mantap dan berdaya saing sehingga ke peringkat global?
Kedua, adakah kementerian bercadang untuk menganjurkan satu konvensyen usahawan bumiputera peringkat nasional sebagai usaha untuk memperkasa program pembangunan usahawan bumiputera? Terima kasih.
Dato' Haji Noh bin Haji Omar
Terima kasih Yang Berhormat. Untuk kita meramaikan usahawan-usahawan bumiputera di peringkat global, MECD akan menganjurkan program gerak usahawan. Dalam program gerak usahawan ini, bukan sahaja kita akan mempamerkan ekspo-ekspo, tetapi juga kita akan mengadakan business matching untuk kita temu jodoh di antara usahawan-usahawan bumiputera.
Dalam masa yang sama kita juga akan mengadakan seminar. Kita juga telah dapat berhubung dengan golongan bumiputera yang telah berjaya menjadi usahawan di luar negara.
Untuk kita mengumpulkan usahawan-usahawan bumiputera di luar negara ini, MARA telah pun diminta untuk mengadakan satu program perjumpaan supaya usahawan-usahawan bumiputera yang berjaya di luar negara akan balik ke Malaysia untuk mengadakan perjumpaan dan mengadakan seminar bersama-sama dengan usahawan-usahawan bumiputera di dalam negara. Dengan adanya pertemuan di antara usahawan bumiputera dan juga di luar negara, kita harap jaringan perniagaan usahawan bumiputera akan dapat kita tingkatkan di peringkat global. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Datuk Ronald Kiandee
Yang Berhormat Kota Raja.
Dr. Siti Mariah binti Mahmud - Kota Raja
Terima kasih Tuan Yang di- Pertua. Soalan tambahan saya ialah, apakah ada skim-skim yang sama untuk membiayai latihan dan pinjaman kepada usahawan-usahawan bukan bumiputera terutamanya kaum India. Jika ada apakah skim-skim tersebut dan setakat ini berapa banyak? Berapa peratus daripada peruntukan dana kementerian untuk tujuan ini? Jika tidak ada, adakah kementerian atau kerajaan bercadang untuk mewujudkan dana atau skim untuk golongan ini?
Yang Berhormat, kawasan saya mempunyai 28% kaum India dan ramai di antara mereka di bawah kategori yang memerlukan pertolongan. Sekian, terima kasih.
Dato' Haji Noh bin Haji Omar
Terima kasih Yang Berhormat Kota Raja yang menjadi jurucakap kepada golongan bumiputera. Jurucakap kepada golongan bumiputera selalunya Ipoh Barat yang akan tanya soalan ini. Hari ini tahniahlah, Kota Raja yang tolong tanya soalan ini.
Saya hendak nyatakan bahawa untuk golongan India, sepanjang tahun 2006 dan 2007, INSKEN membelanjakan sebanyak RM450,920 bagi membiayai penganjuran latihan keusahawanan kepada masyarakat India di mana keseluruhan peserta dilatih adalah seramai 4,627 orang.
Bagi pinjaman kepada bukan bumiputera pula, sehingga April tahun 2008 adalah sebanyak RM82.8 juta telah pun diberikan kepada bukan bumiputera. Pada keseluruhan tahun 2005 adalah sebanyak RM343.32 juta, tahun 2006; RM203.15 juta, pada tahun 2007; RM170.6 juta. Dalam masa yang sama, kementerian juga berusaha untuk mewujudkan usaha sama tulen di antara usahawan bumiputera dengan usahawan bukan bumiputera. Usaha yang kita buat ini telah pun bermula sejak 11 tahun dahulu tetapi malangnya kerjasama ini kurang mendapat sambutan. Hanya ada 11 syarikat sahaja kita berjaya mengadakan usaha sama tulen.
Oleh itu kementerian telah pun menubuhkan satu jawatankuasa kerja galakan usaha sama tulen yang untuk kita mengkaji dan memperbanyakkan usaha sama tulen kerana kita memang mengharapkan golongan bukan bumiputera akan dapat sama- sama membimbing usahawan bumiputera, bukan dalam bentuk Ali Baba tetapi sebagai rakan kongsi yang tulen.
Daripada jawapan yang saya beri tadi Tuan Yang di-Pertua, jelas menunjukkan bahawa Kerajaan Barisan Nasional ialah kerajaan yang sentiasa memperjuangkan hak setiap rakyat Malaysia. [Tepuk]
Dato' Haji Noh bin Haji Omar
Jadi kalau ada dakwaan yang mengatakan kita tidak membela nasib bukan bumiputera ini ialah hanya isu-isu politik murahan yang hari ini dibawa oleh pembangkang. [Tepuk]
Tuan M. Kula Segaran - Ipoh Barat
Ini politik Barisan Nasional.
Dato' Haji Noh bin Haji Omar
Sebab itulah kita lihat wakil daripada Kota Raja pun ingin menjadi jaguh kepada orang bukan bumiputera. Terima kasih.
Dr. Haji Mohd. Hayati bin Othman - Pendang
Sampai ke bawah berapa?
Timbalan Yang di-Pertua - Datuk Ronald Kiandee
Yang Berhormat...
Tuan Haji Khalid bin Abd. Samad - Shah Alam
Point of order, point of order.
Timbalan Yang di-Pertua - Datuk Ronald Kiandee
Tuan M. Manogaran.
Dr. Haji Mohd. Hayati bin Othman - Pendang
Sampai ke bawah berapa?
Tuan Haji Khalid bin Abd. Samad - Shah Alam
Point of order. Tuan Yang di-Pertua, point of order.
Timbalan Yang di-Pertua - Datuk Ronald Kiandee
Point of order berapa Yang Berhormat?
Tuan Haji Khalid bin Abd. Samad - Shah Alam
36(12).
Timbalan Yang di-Pertua - Datuk Ronald Kiandee
36(12) menyeleweng Dewan.
Tuan Haji Khalid bin Abd. Samad - Shah Alam
Ya, pasal hendak jadi champion.
Timbalan Yang di-Pertua - Datuk Ronald Kiandee
Tak ada Yang Berhormat.
Tuan Haji Khalid bin Abd. Samad - Shah Alam
Kita dalam PAS ini kita tak tengok kaum. Kita tengok keadilan...
Timbalan Yang di-Pertua - Datuk Ronald Kiandee
Baik Yang Berhormat.
Tuan Haji Khalid bin Abd. Samad - Shah Alam
Kita mewakili...
Timbalan Yang di-Pertua - Datuk Ronald Kiandee
Cukuplah Yang Berhormat.
Tuan Haji Khalid bin Abd. Samad - Shah Alam
Kita mewakili...
Dr. Haji Mohd. Puad Zarkashi - Batu Pahat
Itu bukan point of order.
Tuan Haji Khalid bin Abd. Samad - Shah Alam
...Setiap kaum. Ini perjuangan kita. Lalu tuduhan...
Timbalan Yang di-Pertua - Datuk Ronald Kiandee
Cukup Yang Berhormat.
Tuan Haji Khalid bin Abd. Samad - Shah Alam
...Seperti itu yang mengatakan kita hendak jadi jaguh dan sebagainya adalah...
Timbalan Yang di-Pertua - Datuk Ronald Kiandee
Yang Berhormat cukup Yang Berhormat. Saya sudah dengar ucapan Yang Berhormat tadi.
Tuan Haji Khalid bin Abd. Samad - Shah Alam
...Satu tindakan yang tidak bertanggungjawab dan berbau perkauman Tuan Yang di-Pertua. Minta maaf Tuan Yang di-Pertua. [Tepuk] Tarik balik.
Timbalan Yang di-Pertua - Datuk Ronald Kiandee
Saya tidak melihat sebarang pelanggaran terhadap Peraturan 36(12). Saya jemput Yang Berhormat...
Dato' Haji Noh bin Haji Omar
Tuan Yang di-Pertua, 36(6). Saya minta...
Tuan M. Kula Segaran - Ipoh Barat
Cukuplah! Cukuplah!
Tuan Fong Kui Lun - Bukit Bintang
Duduklah!
Tuan Chua Tian Chang - Batu
Point of order.
Dato' Haji Noh bin Haji Omar
Ini peraturan mesyuarat tak fahamkah?
Tuan M. Kula Segaran - Ipoh Barat
Peraturan apa?
Dato' Haji Noh bin Haji Omar
Tentang peraturan. Duduklah! Duduklah ini peraturan mesyuarat.
Timbalan Yang di-Pertua - Datuk Ronald Kiandee
Ya, sila, sila Yang Berhormat Menteri.
Dato' Haji Noh bin Haji Omar
Tak tahu peraturankah? 36(6). Dia berniat jahat dengan saya mengatakan saya bercakap soal perkauman. Saya minta tarik balik tuduhan ini. [Tepuk] Saya cakap perkara betul. Ini satu niat jahat sebab Kerajaan Barisan Nasional bukan kerajaan yang mengamalkan perkauman tidak seperti pembangkang. [Dewan riuh] Tuduhan diberi...
Dr. Haji Mohd. Puad Zarkashi - Batu Pahat
Tarik balik!
Tuan M. Kula Segaran - Ipoh Barat
Parti UMNO...
Dato' Haji Noh bin Haji Omar
Ini maruah saya Tuan Yang di-Pertua, sebab dalam kawasan ada juga pengundi bukan Melayu.
Tuan M. Kula Segaran - Ipoh Barat
UMNO bukan parti racist.
Dato' Haji Noh bin Haji Omar
Ini tuduhan jahat 36(6).
Timbalan Yang di-Pertua - Datuk Ronald Kiandee
Baik Yang Berhormat.
Ahli-ahli Yang Berhormat...
Tuan Haji Khalid bin Abd. Samad - Shah Alam
Saya rasa kalau Yang Berhormat...
Timbalan Yang di-Pertua - Datuk Ronald Kiandee
Sila duduk Yang Berhormat Shah Alam. Saya tidak melihat juga sebarang pelanggaran. Itu merupakan respons daripada Yang Berhormat Shah Alam kepada jawapan yang diberi oleh menteri. Jadi Yang Berhormat saya jemput sekali lagi Tuan M. Manogaran.
8. Tuan M. Manogaran [Telok Intan] minta Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi menyatakan:
(a) berapakah peruntukan yang diagihkan kepada kajian sains biologi termasuk biomedik, farmaseutikal (pharmaceuticals) dan bioteknologi; dan
(b) negara jiran kita telah mewujudkan biopolis dan fusionopolis sebagai pentas (platform) menghasilkan produk kajian sains.
Adakah kerajaan berniat meningkatkan saingan dalam bidang sains dengan mewujudkan sebuah pusat bagi kajian saintifik.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi - Datuk Dr. Maximus Johnity Ongkili
Tuan Yang di-Pertua, terima kasih. Kita cerita sebentar mengenai bioteknologi yang neutral daripada politik dan yang banyak Kerajaan Barisan Nasional telah pun melaksanakan.
Tuan Yang di-Pertua, untuk makluman Ahli-ahli Yang Berhormat peruntukan yang dilulus dan diagihkan bagi projek penyelidikan dan pembangunan dalam kajian sains biologi dan bioteknologi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi atau MOSTI yang dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan sehingga 30 April 2008 ialah RM483.4 juta. Bidang-bidang kajian yang dilakukan seperti sains marin, biodiversiti dan persekitaran ialah sebanyak RM4.6 juta.
Manakala peruntukan untuk kajian bioteknologi pula ialah sebanyak RM478.8 juta iaitu RM141.2 juta bagi bidang biomedikal dan RM74.1 juta dalam bidang farmaseutikal dan biofarmasi. Manakala bidang-bidang lain dalam bioteknologi seperti bioteknologi tumbuhan, bioteknologi makanan, bioteknologi haiwan, industrial bioteknologi dan bioteknologi persekitaran peruntukan ialah RM263.55 juta.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi - Datuk Dr. Maximus Johnity Ongkili
Tuan Yang di-Pertua, dalam bidang bioteknologi kerajaan menyedari bahawa industri bioteknologi adalah merupakan salah satu sumber baru bagi meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara. Oleh itu, kerajaan telah menyusun satu strategi pembangunan industri bioteknologi dengan melancarkan dasar bioteknologi negara pada April 2005 lalu.
Strategi kerajaan untuk meningkatkan saingan dalam bidang sains bioteknologi ialah dengan mewujudkan persekitaran yang merangsangkan dengan izin, conducive environment dan menggalakkan pertumbuhan industri bioteknologi melalui penubuhan perbadanan bioteknologi Malaysia ataupun BiotechCorp sebagai pusat sehenti industri bioteknologi dan memperkenalkan status BioNexus serta konsep BioNexus.
Melalui status BioNexus sesuatu syarikat akan menerima insentif cukai yang menarik, dana pengkomersialan atau dana perbadanan R&D dan dana perbadanan perniagaan di peringkat antarabangsa dan lain-lain lagi. Dengan konsep BioNexus pusat penyelidikan sedia ada digemblengkan untuk melaksanakan aktiviti R&D yang boleh membantu menjana ekonomi negara.
Tuan Yang di-Pertua, selain daripada itu jawapan bagi soalan nombor dua ialah untuk memastikan penyelidikan bioteknologi lain terarah dan terfokus, kerajaan sedang membangunkan tiga institut bioteknologi iaitu Institut Genome Malaysia di UKM Bangi, Institut Agro Bioteknologi di MARDI Serdang dan Institut Farmaseutikal dan Nuetrasifikal di USM Pulau Pinang. Projek-projek R&D yang dijalankan oleh institut- institut ini adalah berskala besar dengan menggunakan pelantar-pelantar teknologi ataupun teknologi platform terkini dan berdaya rintis atau cutting edge.
Institut-institut ini juga akan bertindak sebagai vehicle atau infrastruktur dan sebagai catalyst trasformasi bagi memodenkan sektor-sektor yang dikenal pasti dalam mewujudkan sumber pertumbuhan baru ekonomi negara sesuai dengan ekonomi berasaskan pengetahuan. Kerajaan pada masa ini sebenarnya tidak perlu membangunkan sebuah pusat kajian saintifik kerana kerajaan sebenarnya telah membangunkan tiga buah institut khusus bagi tujuan bioteknologi seperti mana yang dinyatakan tadi. Terima kasih.
Tuan M. Manogaran - Telok Intan
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Soalan tambahan saya. Mengapakah negara kita berbanding dengan negara jiran iaitu Singapura selalu ketinggalan dalam bidang bioteknologi khususnya biosains, biomedicine, dan biopolis dan seumpamanya? Adakah ini disebabkan oleh saintis- saintis yang kita ada pada masa ini tidak ada kemampuan atau kemahiran ataupun taraf pendidikan pengajian tinggi kita selalu ketinggalan berbanding dengan Singapura?
Terima kasih.
Datuk Dr. Maximus Johnity Ongkili
Tuan Yang di-Pertua, sebenarnya komen tersebut itu tidak betul. Seperti mana yang saya sentuh tadi dalam bidang bioteknologi kita mendahului banyak negara-negara lain dirantau ini dan tak payahlah kita hendak tiru negara-negara jiran dari cara-cara mereka menerajui biang bioteknologi ini.
Untuk makluman, setakat Mei 2008 sebanyak 63 syarikat telah diluluskan status BioNexus dengan jumlah pelaburan yang telah diluluskan sebanyak RM1.28 bilion. Minggu yang lalu, saya mengetuai delegasi Malaysia ke Konvensyen Bio Antarabangsa 2008 di San Diego. Di situ saya menyaksikan contohnya, kira-kira 10 perjanjian MoU dan bernilai RM1 bilion. Ini mencerminkan bahawa kemajuan kita dalam bidang ini lebih sebenarnya mendahului daripada negara-negara lain dirantau ini khususnya kekuatan-kekuatan kita dalam bidang agriculture bioteknologi dan biodiversiti. Terima kasih.
Tuan Khairy Jamaluddin Abu Bakar - Rembau
Terima kasih Tuan Yang di- Pertua. Memang wajar kita memajukan lagi bidang penyelidikan khususnya dalam bidang bioteknologi ini, tetapi daripada tahun 1990 hingga tahun 2005 hanya 17 paten baru dihasilkan. Soalan saya ialah, apakah usaha-usaha kerajaan untuk meningkatkan paten tempatan sedangkan kita ada banyak sumber asli? Saya khuatir paten untuk flora dan fauna kita dibuat oleh saintis asing dan bukan oleh saintis tempatan. Terima kasih.
Datuk Dr. Maximus Johnity Ongkili
Tuan Yang di-Pertua, sememangnya itulah antara milestone dengan izin, yang ditetapkan dalam dasar bioteknologi negara kita supaya pencapaian-pencapaian dalam bidang pengeluaran paten itu terus meningkat. Akan tetapi untuk membetulkan maklumat tadi, bagi paten-paten setakat dalam Rancangan Malaysia Kelapan iaitu bagi tahun 2001-2006, sebenarnya paten dalam bidang bioteknologi termasuk bahagian dengan izin animal plant food, biopharmacy medical biology jumlah paten sebenarnya nasional dan local adalah 70 keseluruhannya.
Dalam bidang ini tumpuan kita adalah memastikan supaya geran-geran yang diberi oleh kementerian bagi kajian-kajian tertentu dalam bidang bioteknologi ini dapat diterjemahkan bukan sahaja kepada produk dan hasil inovasi yang seperti dirancangkan, tetapi boleh diterjemahkan kepada paten-paten. Ini akan terus menjadi sasaran untuk mid-term yang dicapai oleh kementerian dalam Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-9. Terima kasih.
9. Dato’ Seri Ong Ka Ting [Kulai] minta Perdana Menteri menyatakan perangkaan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) dan pertumbuhan KDNK bagi setiap negeri dalam Malaysia dari tahun 2004 sehingga 2008.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri - Tuan S.K. Devamany
Tuan Yang di-Pertua, ekonomi Malaysia telah mencatat pertumbuhan yang menggalakkan dari tahun 2004 hingga 2008. Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) telah berkembang pada kadar purata 6%.
Bagi tempoh 2004 sehingga 2007 iaitu:
| TAHUN | JUMLAH |
|---|---|
| 2004 | 7.2% |
| 2005 | 5.2% |
| 2006 | 5.8% |
| 2007 | 6.3% |
Perkembangan ekonomi negara adalah meluas di mana kesemua sektor mencatat pertumbuhan positif. Bagi suku tahun pertama 2008, KDNK negara telah mencatat 7.1% dan anggaran rasmi pertumbuhan ekonomi tahun ini adalah 5% hingga 6% dengan mengambil kira pertumbuhan ekonomi dunia yang sederhana dan dengan kenaikan harga minyak.
Untuk makluman Yang Berhormat, maklumat terperinci KDNK termasuk pecahan sektor serta perangkaan mengikut sudut permintaan, penawaran boleh diperoleh dengan melayari lawan web Unit Perancangan Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri, EPU JPM iaitu www.epu.gov.my atau laman web Bank Negara Malaysia www.bnm.gov.my.
Tuan Yang di-Pertua, bagi KDNK negeri, angka yang dikeluarkan oleh UPE dan JPM bukanlah angka sebenar tetapi hanyalah merupakan anggaran sahaja. Dalam hubungan ini, saya ingin mengatakan bahawa usaha sedang dijalankan oleh UPE iaitu Unit Perancang Ekonomi dan Jabatan Perangkaan untuk mengeluarkan perangkaan KDNK yang jitu berasaskan penyiasatan sebenar, actual survey mengikut sektor dari tahun 2000 sehingga 2007 berasaskan tahun 2000.
Usaha ini telah bermula pada bulan Januari 2008, dan dijangka siap pada penghujung tahun ini. Apabila siap nanti perangkaan KDNK negeri akan diterbitkan untuk makluman awam. Seperti yang ditanyakan oleh Yang Berhormat, iaitu perangkaan kadar pertumbuhan ekonomi negeri-negeri yang telah sedia ada 2004 hingga 2007 adalah seperti berikut:
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri - Tuan S.K. Devamany
| NEGERI | JUMLAH |
|---|---|
| Kedah | 5.9% |
| Perak | 5.5% |
| Perlis | 6.0% |
| Pulau Pinang | 6.4% |
| Melaka | 6.3% |
| Negeri Sembilan | 5.7% |
| Selangor | 6.1% |
| Kuala Lumpur | 7.4% |
| Johor | 8.8% |
| Kelantan | 4.2% |
| Pahang | 5.6% |
| Terengganu | 3.1% |
| Sabah | 4.2% |
| Sarawak | 3.9% |
Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Datuk Ronald Kiandee
Yang Berhormat Kulai.
Dato' Seri Ong Ka Ting - Kulai
Terima kasih Yang Berhormat Timbalan Menteri. Nampaknya memang benar bahawa tidak ada angka yang sedia ada yang dimiliki oleh kerajaan tentang perangkaan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) setiap negeri tetapi telah dapat jawab bahawa UPE telah mula untuk berusaha.
Saya ingin bertanya. Semasa kerajaan merancang koridor-koridor pembangunan, adakah kerajaan juga telah membuat unjuran pada satu jangka objektif pembangunan koridor-koridor ini akan membawa impak dan membawa hasil supaya pertumbuhan yang seimbang itu dapat tercapai mengikut syarat-syarat dan juga potensi setiap negeri? Kalau sekiranya pembangunan koridor tidak dirancang dengan ada unjuran dan juga mengambil kira KDNK sedia ada, maka pembangunan itu hanya dibuat secara tidak menyeluruh, tidak mengambil kira satu gambaran yang besar dan untuk jangka panjang.
Jadi saya ingin bertanya, sama ada Jabatan Perdana Menteri telah pun ada rancangan supaya pembangunan ekonomi yang bersepadu itu akan membawa kepada akhirnya jumlah KDNK sebenar bagi setiap negeri dan sumbangan KDNK setiap negeri itu akan dijadikan sebahagian daripada gambaran yang menyeluruh?
Timbalan Yang di-Pertua - Datuk Ronald Kiandee
Baik.
Tuan S.K. Devamany
Terima kasih Yang Berhormat. Tuan Yang di-Pertua, unjuran KDNK untuk setiap negeri yang kemudiannya akan memberi kesan terhadap KDNK negara, tetap menjadi fokus UPE dan juga kerajaan.
Mungkin untuk makluman Yang Berhormat, untuk 2008, pertumbuhan KDNK adalah dijangka 5.6% dan selepas ini dalam Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-9 nanti. Perdana Menteri akan membentangkan Kajian Separuh Penggal ini, akan memberitahu segala langkah-langkah yang akan memberi kesan terhadap KDNK nanti. Perbelanjaan tambahan kerajaan juga akan diumumkan nanti. So, kita tunggulah sehingga pengumuman daripada Perdana Menteri. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua - Datuk Ronald Kiandee
Baik, Yang Berhormat Pendang.
Dr. Haji Mohd. Hayati bin Othman - Pendang
Terima kasih Tuan Yang di- Pertua, sambungan kepada soalan tambahan kepada Yang Berhormat Kulai tadi, saya ingin bertanya.
Untuk meningkatkan KDNK di sebelah utara adalah kerajaan telah melancarkan NCER. Pelancaran sahaja berjumlah RM10.9 juta. Jadi saya ingin tanya.
Setakat ini setelah dua tahun dilancarkan, apakah program-program yang telah dijalankan di sebelah negeri-negeri utara ini yang dalam usaha untuk meningkatkan KDNK di negeri utara ini...
Timbalan Yang di-Pertua - Datuk Ronald Kiandee
Baik.
Dr. Haji Mohd. Hayati bin Othman - Pendang
...Yang telah dijalankan.
Terima kasih.
Tuan S.K. Devamany
Terima kasih Yang Berhormat. Untuk makluman Yang Berhormat, pembangunan koridor telah memberi fokus kepada sektor-sektor yang mempunyai kekuatan di kawasan masing-masing. Contohnya di utara itu, fokus kerajaan dalam pembangunan koridor adalah pertanian maka banyak program-program pertanian dan pembangunan sokongan seperti INFRA yang akan memberi sokongan kepada pembangunan pertanian itu. Maka saya akan memberi jawapan secara bertulis kerana terlalu banyak untuk dibutirkan di sini. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
10. Dato’ Ibrahim Ali [Pasir Mas] minta Menteri Pengajian Tinggi menyatakan skop Universiti Kelantan dan cadangan pembangunan fizikal serta kursus-kursus yang akan ditawarkan serta pengambilan jumlah pelajar sehingga tahun 2020.
Timbalan Menteri Pengajian Tinggi I - Datuk Ir. Haji Idris bin Haji Haron
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, terima kasih Yang Berhormat Pasir Mas. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, skop ataupun tumpuan khusus niche area Universiti Malaysia Kelantan adalah keusahawanan dalam bidang sains gunaan, sastera, ikhtisas dan kemanusiaan. Subjek keusahawanan yang diajar adalah merentasi setiap program pengajian di universiti ini.
Tuan Yang di-Pertua, perancangan pembangunan fizikal yang dirancang merangkumi pembangunan Universiti Malaysia Kelantan ataupun lebih popular dikenali sebagai UMK di Kampus Bachok dan Jeli serta Kampus Kota di Taman Bendahara, Pengkalan Chepa. Dahulu kita panggil cawangan tetapi sekarang kita panggil kampus.
Pada tahun 2020 untuk makluman Ahli Yang Berhormat, UMK akan mempunyai 10 buah fakulti termasuk tiga fakulti sedia ada, iaitu Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan, Fakulti Agro Industri dan Sumber Asli serta Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan. Tujuh buah fakulti lagi akan ditambah dari semasa ke semasa mengikut kehendak dan keperluan kawasan serta negara.
Pada tahun 2020 untuk makluman Yang Berhormat, UMK dijangka akan menawarkan 55 program pengajian termasuk program pengajian bagi pasca siswazah ataupun post graduate. Unjuran pelajar pada masa itu ialah 15,000 orang, termasuk 5% daripadanya merupakan pelajar antarabangsa dan 15% adalah pelajar-pelajar post graduate.
UMK juga mensasarkan 60% tenaga pengajar di universiti ini mempunyai kelayakan Ph.D pada 2010 dan 75% insya-Allah pada tahun 2020. Yang Berhormat, sasaran ini adalah selaras dan telah dimasukkan kesemuanya di dalam Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara yang dilancarkan pada tahun 2007 yang lalu. Terima kasih.
Dato’ Ibrahim Ali - Pasir Mas
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Saya ingin bertanya. Pertama, berdasarkan kursus-kursus yang disebutkan tadi, saya agak terperanjat kerana tidak ada kursus-kursus dalam bidang pengajian agama. Yang saya hendak tanya, apakah terdapat dalam senarai penawaran kursus pengajian seperti dalam bidang Usuluddin, Fikah, Syariah dan seumpamanya?
Oleh kerana Kelantan dikenali sebagai negeri serambi Mekah, yang ramai kita tahu tokoh-tokoh agama lahir di sana dan mewujudkan segera sebuah kerusi yang dinamakan Kerusi Tok Kenali. Saya boleh tawar diri supaya mengisi jawatan tersebut, Kerusi Tok Kenali. [Ketawa]
Dato’ Ibrahim Ali - Pasir Mas
Kedua, soalan saya Tuan Yang di-Pertua. Saya dapati ada dua kampus.
Kampus yang disebutkan tadi di Bachok dan Jeli. Bachok ini dulu kawasan bakal menteri besar tak jadi, manakala Jeli ini kawasan menteri yang ada sekarang. Jadi saya hendak tanya, apakah kerajaan bercadang untuk melebarkan lagi cawangan kampus supaya meliputi semua daerah, yang juga boleh membantu pembangunan termasuklah kita katakan dalam bidang pengajian agama tadi, kawasan Kubang Kerian, Perhutanan, Kuala Krai dan Jeli contohnya...
Timbalan Yang di-Pertua - Datuk Ronald Kiandee
Baik Yang Berhormat.
Dato’ Ibrahim Ali - Pasir Mas
...Dan Pasir Mas pengajian good governance, transparency, bersih, cekap dan amanah supaya kawasan ini, fakulti ini lebih baik daripada Oxford dan Cambridge University. Terima kasih.
Datuk Ir. Haji Idris bin Haji Haron
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, terima kasih Yang Berhormat Pasir Mas. Saya yakin Kementerian Pengajian Tinggi memang sentiasa bergerak untuk melahirkan universiti-universiti, IPTA-IPTA bertaraf lebih baik daripada Oxford dan Cambridge.
Tuan Yang di-Pertua, merujuk kepada soalan ataupun cadangan, saranan Yang Berhormat tadi, suka saya maklumkan di sini bahawa pada ketika ini UMK mempunyai kursus-kursus yang berkaitan dengan keusahawanan, yang berkaitan rapat dengan budaya dan cara hidup masyarakat di negeri Kelantan. Pada hari ini kalau kita lihat pun masyarakat yang paling baik dalam aspek ketuhanan ini adalah datangnya daripada negeri Kelantan.
Namun begitu, kita percaya apa yang telah dianjurkan oleh Yang Berhormat tadi boleh kita ambil kira mengikut keperluan dari semasa ke semasa. Saya yakin dan percaya juga setiap kursus yang ditawarkan ada menyediakan ruang input-input agama, kerohanian dan spiritual ini boleh dimasukkan di dalam umpamanya Sarjana Muda Sains Gunaan, boleh mengkaji, boleh menguatkan tauhid seseorang apabila melihat kejadian-kejadian bumi, matahari, bintang dan langit. Ini semua boleh dilakukan mengikut kehendak semasa.
Tuan Yang di-Pertua, mengenai penyebaran ataupun meluaskan kampus- kampus di seluruh daerah dan negeri. Pada ketika ini, kita mempunyai tiga tapak kampus yang telah kita sebutkan tadi. Dan saya juga difahamkan bahawa negeri Kelantan ini adalah di antara negeri yang mempunyai banyak pusat pengajian tinggi dan telah pun diiktiraf oleh menteri besar baru-baru ini dalam akhbar.
Antaranya Universiti Malaysia Kelantan, yang kampusnya terdapat di tiga tapak tadi. UiTM Cawangan Machang, USM Kubang Kerian, Universiti Malaya Nilam Puri, politeknik dan banyak lagi komuniti-komuniti kolej yang telah disediakan oleh KPT.
Dato’ Ibrahim Ali - Pasir Mas
Pasir Mas tidak ada? Pasir Mas tidak ada?
Datuk Ir. Haji Idris bin Haji Haron
Cadangan Yang Berhormat tadi boleh kita ambil kira mengikut kehendak dan keperluan semasa nanti. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Tuan Ahmad Maslan - Pontian
Berapakah peratusan pelajar Kelantan dibandingkan pelajar luar Kelantan sekarang ini di UMK? Bagaimana dasar untuk menerima pelajar dari selatan Thailand untuk memasuki UMK? Terima kasih.
Datuk Ir. Haji Idris bin Haji Haron
Untuk makluman Yang Berhormat, peratusan pelajar Kelantan, saya tidak ada angkanya pada ketika ini. Namun begitu, saya percaya saya boleh bekalkan Yang Berhormat angka tersebut.
Untuk menerima pelajar-pelajar dari selatan Thailand, ia sesuai dengan hasrat kementerian, iaitu untuk menyediakan 15% ruang kepada pelajar-pelajar antarabangsa apabila universiti ini siap dibina kelak. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
11. Tuan Liang Teck Meng [Simpang Renggam] minta Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi menyatakan tempoh semakan menamatkan pemegang- pemegang lesen Kelas F yang tidak aktif dan membuka permohonan semula lesen Kelas F kepada kontraktor-kontraktor baru.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi - Dato' Haji Noh bin Haji Omar
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Kerajaan telah membekukan pendaftaran kontraktor Kelas F mulai 8 April 2005. Ini adalah kerana bilangan kontraktor Kelas F yang berdaftar adalah melebihi peluang-peluang kerja yang boleh diberikan oleh kerajaan. Sehingga 12 Jun 2008, bilangan kontraktor Kelas F yang masih berdaftar dengan Pusat Khidmat Kontraktor atau PKK ialah 31,847 kontraktor berbanding dengan 35,500 pada April 2005.
Sehubungan itu, mulai Januari 2006, kerajaan telah membuat semakan pendaftaran serta menamatkan pendaftaran kontraktor Kelas F yang tidak aktif.
Langkah ini dilaksanakan secara berterusan bagi memantapkan kapasiti kontraktor Kelas F sedia ada dan mewujudkan kontraktor yang berkualiti. Sehubungan itu, kementerian sedang mengkaji keberkesanan dasar pembekuan tersebut dan akan membukanya pada masa yang sesuai nanti.
Walau bagaimanapun, kontraktor-kontraktor baru tidak dilarang untuk mendaftar di dalam mana-mana kelas sama ada Kelas E, D, C, B atau A. Terima kasih.
Tuan Liang Teck Meng - Simpang Renggam
Terima kasih. Soalan tambahan saya ialah, apakah kriteria-kriteria semakan yang diambil oleh kementerian bagi menentukan sama ada kontraktor itu aktif atau tidak, memandangkan bilangan kontraktor yang berdaftar masih begitu tinggi? Nampaknya matlamat pembekuan ini masih tidak tercapai selama tiga tahun ini. Terima kasih.
Dato' Haji Noh bin Haji Omar
Terima kasih Yang Berhormat. Antara kriteria yang kita ambil ialah ada kontraktor Kelas F, dia tidak memohon pembaharuan langsung dan ini melibatkan 3,317 kontraktor. Ada juga di antara mereka yang dikenakan tindakan tatatertib seperti mensubkontrakkan ataupun memberikan kepada orang lain. Bertindak sebagai ejen untuk mengambil komisen dan ada di antara mereka yang disenaraihitamkan, dan dalam masa yang sama apabila disemak akaun syarikat mereka, tidak aktif.
Dan ada di antara mereka apabila dipanggil untuk menghadiri kursus-kursus yang dianjurkan oleh PKK khas untuk kontraktor Kelas F, mereka tidak menghadirkan diri. Semuanya ini menunjukkan bahawa mereka ini tidak lagi berminat untuk menjadi kontraktor Kelas F dan sebab-sebab itulah maka pendaftaran mereka dibatalkan.
Terima kasih.
Datuk Bung Moktar bin Radin - Kinabatangan
Terima kasih Tuan Yang di- Pertua, Yang Berhormat Menteri. Apakah program yang dirancang oleh kementerian untuk mengangkat martabat kontraktor Kelas F ini. Contohnya tahun ini, berapa sasaran kumpulan kontraktor Kelas F dikeluarkan daripada status F menjadi naik grednya? Sebab kontraktor Kelas F ini tidak boleh dibiarkan bersendirian. Mereka tidak boleh mencari makan dengan beribu-ribu Kelas F ini, tetapi peluang kontrak itu kurang.
Jadi seolah-olah kita membiarkan mereka berenang dalam kolam yang besar...
Timbalan Yang di-Pertua - Datuk Ronald Kiandee
Baik Yang Berhormat.
Datuk Bung Moktar bin Radin - Kinabatangan
...Jadi saya percaya dengan kebijaksanaan Yang Berhormat Menteri, walaupun baru menerajui kementerian ini, saya berkeyakinan Yang Berhormat ada satu pendekatan ataupun strategi ke arah bagaimana mengangkat martabat kontraktor Kelas F ini menjadi kontraktor yang berwibawa.
Dato' Haji Noh bin Haji Omar
Terima kasih Yang Berhormat. Sebab itu saya nyatakan tadi bahawa langkah pertama kita, kita hendak pastikan bahawa mereka yang benar-benar berminat, mereka yang benar-benar ada kualiti untuk kekal sebagai kontraktor Kelas F. Kalau kita lihat dalam tempoh pembekuan tahun 2005 sehingga 2008, sebanyak 3,399 kontraktor ini telah pun dibatalkan.
Dato' Haji Noh bin Haji Omar
Kedua, mengenai peluang-peluang pekerjaan. Kita sedia maklum bahawa ada amaun di bawah RM200,000 ke bawah sahaja yang boleh ditawarkan kepada Kelas F.
Untuk memastikan bahawa pengagihan kelas-kelas ini seimbang di setiap daerah kerana kita sedia maklum, kelas ini hanya boleh buat kerja di dalam daerah-daerah tertentu. Maka, mana-mana daerah yang kita dapati masih lagi kekurangan, ini kita boleh pertimbangkan untuk kita memberi peluang kepada pemohon baru Kelas F.
Yang ketiga, sebagaimana yang saya nyatakan tadi bahawa, kita amat menggalakkan kontraktor Kelas F ini supaya mereka dapat menaikkan taraf kelas mereka ke kelas yang lebih tinggi kerana kita sedia maklum bahawa peluang-peluang pekerjaan memang kita akui memang terlalu terhad tetapi bilangan kontraktornya terlalu ramai.
Jadi, dalam kajian kita pun, kita dapati bahawa sepatutnya di dalam negara kita Kelas F ini mestilah berada di bawah 20,000 orang sahaja berdasarkan kepada peruntukan dalam RMK-9 yang diluluskan oleh Dewan yang mulia ini. Terima kasih.
12. Tuan Haji Taib Azamudden bin Md. Taib [Baling] minta Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani menyatakan berapa jumlah tanah-tanah pertanian terbiar yang didapati di seluruh negeri di Semenanjung dan nyatakan tanah-tanah pertanian yang ditukar syarat kepada tanah pembangunan dan perumahan di negeri-negeri tersebut.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani - Datuk Hajah Rohani binti Haji Abdul Karim
Tuan Yang di-Pertua, tanah terbiar ditakrifkan sebagai tanah milik yang tidak diusahakan selama dua tahun berturut-turut. Tanah terbiar ini kebanyakannya adalah tanah bekas sawah yang tidak lagi diusahakan disebabkan kekurangan infrastruktur pengairan dan saliran dan di samping pemilik yang telah tua, tanah yang mempunyai banyak penama, dan pemilik tinggal di luar kawasan.
Statistik tahun 2002 menunjukkan seluas 34,362 hektar tanah milik yang terbiar telah dikenal pasti di seluruh Semenanjung di mana, setiap kawasan yang terbiar berkeluasan 10 hektar ke atas. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 12,155 hektar sahaja dikenal pasti sesuai untuk dibangunkan dengan aktiviti pertanian.
[Tuan Yang di-Pertua mempengerusikan Mesyuarat] Jadi, menjawab soalan Yang Berhormat, iaitu mengikut rekod kementerian dan maklumat daripada jabatan dan agensi di bawah kementerian, adalah dianggarkan dalam 6,000 hektar daripada tanah pertanian telah ditukar syarat untuk dijadikan pembangunan-pembangunan lain seperti perumahan dan pembangunan lain.
Langkah untuk memajukan tanah terbiar telah dimulakan pada tahun 2001 iaitu dalam Rancangan Malaysia Kelapan dan sehingga kini seluas 2,612 hektar kawasan telah berjaya dibangunkan. Pembangunan tanah terbiar diteruskan di dalam Rancangan Malaysia Kesembilan melalui projek kawasan tumpuan pembangunan pertanian dengan peruntukan berjumlah RM30 juta.
Di bawah Pelan Dasar Jaminan Bekalan Makanan iaitu dari tahun 2008 sehingga tahun 2010, sejumlah RM48 juta telah diperuntukkan untuk membangunkan tanah terbiar di seluruh negara. Terima kasih
Tuan Haji Taib Azamudden bin Md. Taib - Baling
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua dan terima kasih kepada Yang Berhormat Menteri. Ekoran daripada penjelasan yang telah diberikan tadi, jumlah tanah terbiar yang berpotensi untuk dibangunkan lebih daripada 12,000 hektar.
Apakah kerajaan bercadang untuk memajukan tanah-tanah pertanian yang terbiar tadi dengan menjadikan tapak ataupun kawasan-kawasan sebagaimana yang telah dilakukan oleh pihak kementerian seperti mana Projek Pertanian Moden yang ada di Kluang, Johor juga Taman Kekal Pengeluaran Makanan atau PKPM dan juga mungkin dijadikan sebagai kawasan atau tapak lembah ke Prima Bestari ini untuk ternakan?
Tuan Haji Taib Azamudden bin Md. Taib - Baling
Keduanya, difahamkan bahawa pihak Kementerian Pertanian juga berusaha untuk meningkatkan pengeluaran padi dengan meluaskan sampai ke Sarawak dengan 125,000 hektar tanah di Sarawak yang dicadangkan dan termasuk 37,000 kawasan baru. Apakah pula langkah pihak Kementerian Pertanian untuk menyelamatkan tanah- tanah jelapang padi yang sedia ada sebagaimana di Kedah, Selangor dan negeri- negeri lain di Semenanjung supaya tanah-tanah jelapang padi ini tidak terhakis begitu berleluasa dengan projek-projek pembangunan dan juga perumahan, misalnya?
Terima kasih.
Datuk Hajah Rohani binti Haji Abdul Karim
Terima kasih Yang Berhormat dari Baling. Yang Berhormat sungguh baik sekali. Semua cadangan Yang Berhormat itu dan sebenarnya Yang Berhormat, terima kasih sebab inilah yang kementerian usahakan seperti yang dikatakan oleh Yang Berhormat tadi selain pada kita sekarang sudah dapat data mengenai berapa tanah-tanah terbiar yang boleh diusahakan untuk pertanian seperti Yang Berhormat cadangkan tadi adalah untuk penggunaan atau meningkatkan pengeluaran makanan dan juga untuk kita memastikan bahawa dasar jaminan bekalan makanan di dalam negara adalah mencukupi.
Sebenarnya Yang Berhormat, memang. Saya telah memberitahu bahawa kita telah memberikan satu peruntukan yang begitu lumayan juga untuk kita membangunkan semula semua tanah terbiar seperti Yang Berhormat katakan tadi iaitu dalam 12,155 hektar. Dan Yang Berhormat memanglah seperti dikatakan oleh Yang Berhormat bahawa tanah-tanah ini insya-Allah akan digunakan untuk Projek Pertanian Moden, untuk kita menambahkan juga di bawah Taman Kekal Pengeluaran Makanan, menambahkan lagi pengeluaran ruminan iaitu di bawah Projek Pedaging Negara iaitu lembu dan juga kambing.
Pada masa yang sama, Yang Berhormat memang diberikan satu peruntukan yang begitu besar yang juga menjuruskan kepada insya-Allah di dalam masa-masa yang akan datang, kita akan meningkatkan semua SSL kita kepada peratusan yang lebih tinggi iaitu SSL, Self Sufficiency Level dengan izin.
Tuan Yang di-Pertua
Terima kasih.
Datuk Hajah Rohani binti Haji Abdul Karim
Jadi Yang Berhormat, terima kasih Yang Berhormat. Jadi, memang di bawah kementerian sekarang ini dan di bawah Dasar Jaminan Bekalan Makanan iaitu tahun ini sahaja, kita diberikan satu jumlah yang juga begitu besar di mana dari segi Yang Berhormat mencadangkan tadi untuk kita mempertingkatkan juga tanah-tanah dalam jelapang, di luar jelapang selain daripada kita mencari tanah-tanah baru iaitu di Sabah, Sarawak dan juga negeri-negeri lain di dalam Semenanjung.
Untuk makluman Yang Berhormat, baru-baru ini kita mengadakan satu Mesyuarat Exco Pertanian seluruh negara dan kita mendapat kerjasama yang begitu positif daripada semua negeri termasuk lima negeri yang di bawah Kerajaan Pembangkang. Terima kasih Yang Berhormat.
Tuan Yang di-Pertua
Terima kasih. Yang Berhormat Titiwangsa.
Dr. Lo’ Lo’ Mohamad Ghazali - Titiwangsa
Terima kasih Tuan Yang di- Pertua. Saya ingin bertanya. Apakah ada langkah-langkah kementerian melalui pejabat-pejabat pertanian di daerah-daerah untuk mengenal pasti tanah-tanah terbiar termasuk tanah-tanah kebun yang tidak diusahakan? Dengan ini, secara proaktif menawarkan khidmat untuk memulihkan dan memajukan tanah-tanah terbiar tersebut kerana saya percaya masih ramai lagi rakyat...
Tuan Yang di-Pertua
Soalan Yang Berhormat?
Dr. Lo’ Lo’ Mohamad Ghazali - Titiwangsa
...Ialah, yang tidak pasti cara- cara. Tadi, saya tanya apakah langkah tadi Tuan Yang di-Pertua.
Tuan Yang di-Pertua
Sila, apakah langkah-langkahnya Yang Berhormat Menteri.
Dr. Lo’ Lo’ Mohamad Ghazali - Titiwangsa
Tidak pasti cara-cara atau peluang yang disediakan kementerian. Begitu juga, apakah insentif yang disediakan kepada pemilik-pemilik tanah terbiar tersebut? Terima kasih
Datuk Hajah Rohani binti Haji Abdul Karim
Terima kasih Yang Berhormat.
Seperti saya katakan tadi, daripada statistik yang saya bacakan tadi iaitu daripada 34,000 hektar tanah terbiar yang dikenal pasti di seluruh Semenanjung, didapati 12,155 hektar adalah sesuai untuk pertanian dan ini merangkumi semua negeri yang ada di Semenanjung iaitu:
| NEGERI | KELUASAN (HEKTAR) |
|---|---|
| Kedah | 306 |
| Pulau Pinang | 37 |
| Perak | 2169 |
| Selangor | 189 |
| Negeri Sembilan | 1195 |
| Melaka | 188 |
| Johor | 975 |
| Pahang | 2503 |
| Terengganu | 2613 |
| Kelantan | 1980 |
Untuk makluman Yang Berhormat, terima kasih Yang Berhormat. Satu cadangan yang begitu memberangsangkan kepada pertanian sebab pertanian ini Yang Berhormat kita merasakan adalah across dengan izin, tak kiralah fahaman politik dan sebagainya sebab ini adalah jaminan makanan.
Untuk makluman Yang Berhormat, semua tanah terbiar ini adalah di bawah bidang kuasa Jabatan Pertanian di semua negeri. Sebenarnya kita telah mengenal pasti seperti contoh, saya pilih satu dua contoh iaitu di Kedah ada 206 hektar. Kita telah mengenal pasti supaya tanah itu sesuai ditanamkan dengan nanas, limau bali dan mangga dan di Negeri Sembilan ada 70 hektar, ianya sesuai ditanam dengan buah- buahan. Di Pahang ada 216 hektar, ianya sesuai ditanam dengan pisang, kelapa, padi dan nangka. Di Pulau Pinang ada 60 hektar ianya sesuai untuk ditanam dengan pisang dan mangga.
Untuk makluman Yang Berhormat seperti saya katakan, memang ada peruntukan yang telah dikhaskan untuk kita membantu mengadakan peningkatan kepada tanaman-tanaman khasnya kepada tanah terbiar. Program yang lain itu berjalan seperti dirancangkan. Terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua
Terima kasih menteri. Ahli-ahli Yang Berhormat, jam sekarang 11.31, jadi sesi soal jawab telah pun berakhir dan pada hari kelmarin soalan- soalan yang dapat dikemukakan 13, nampaknya pada hari ini undur balik menjadi 12.
Jadi suka saya ingatkan kepada Ahli-ahli Yang Berhormat lagi iaitu soalan- soalan tambahan pada minggu depan, harus dipersingkatkan dan jawapan-jawapan daripada menteri juga begitu. Soalan yang dibangkitkan sahaja yang perlu dijawab. Jadi tidak apa fakta-fakta berlonggok di depan menteri-menteri boleh, tetapi soalan direct itu sahaja dijawab. Jangan bawa fakta-fakta yang tidak ditanya. Sila Setiausaha.
Ahmad Badawi]: Tuan Yang di-Pertua, dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha penyayang, saya dengan suka citanya berdiri di Dewan yang mulia ini untuk mengemukakan satu usul mengikut peruntukan Peraturan Mesyuarat 27(3) dalam kandungan seperti berikut:
“Bahawa Dewan ini, menyedari akan pertumbuhan ekonomi yang menggalakkan dan pencapaian matlamat sosioekonomi yang baik semasa awal pelaksanaan Rancangan Malaysia Kesembilan meskipun ekonomi Malaysia terus berhadapan dengan pelbagai ketidaktentuan terutamanya kenaikan harga minyak petroleum mentah dunia; merestui usaha kerajaan bagi melaksanakan Misi Nasional untuk mencapai matlamat Wawasan 2020 bagi menjadikan Malaysia sebuah negara maju; meluluskan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesembilan yang bertujuan melaksanakan strategi dan program serta menyediakan peruntukan bagi menjadikan Malaysia sebuah negara yang teguh dan bersatu padu seperti di bentang dalam Kertas Perintah C.M.D. 8 Tahun 2008; Bahawa dalam meluluskan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesembilan, Dewan yang mulia ini menyeru seluruh rakyat Malaysia supaya bersama-sama mendukung usaha untuk membina, berusaha untuk membina Malaysia sebagai sebuah negara yang makmur dan progresif, yang adil, berdaya tahan dan berdaya saing.” Dengan izin Tuan Yang di-Pertua, sekarang saya bentangkan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesembilan untuk dibahas oleh Ahli-ahli Yang Berhormat di Dewan yang mulia ini.
Tuan Yang di-Pertua, kira-kira dua tahun yang lalu pada 31 Mac 2006, saya telah membentangkan Rancangan Malaysia Kesembilan sebagai wadah rancangan pembangunan lima tahun negara untuk tempoh 2006 hingga 2010. Rancangan tersebut menggariskan hala tuju pembangunan negara untuk tempoh lima tahun pertama dan Fasa Kedua pelaksanaan Wawasan 2020.
Alhamdulillah, berkat kesungguhan dan kegigihan segenap lapisan rakyat dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing, kita bukan sahaja berupaya mengekalkan kestabilan negara serta pertumbuhan ekonomi yang menggalakkan malah dapat terus meningkatkan daya saing negara. Kejayaan ini jelas terserlah melalui pelbagai pencapaian yang telah berjaya kita perolehi dalam tempoh masa dua tahun yang telah berlalu.
Antara lainnya kita telah berjaya mengekalkan kadar pertumbuhan ekonomi negara pada kadar yang membanggakan iaitu sebanyak 6.1% setahun. Menaik taraf kualiti hidup rakyat melalui peningkatan pendapatan per kapita daripada RM18,840 pada tahun 2005 kepada RM23,066 pada tahun 2007. Mengurus perbelanjaan kerajaan secara berhemah dengan pengurangan defisit fiskal negara daripada 3.6% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2005 kepada 3.2% pada tahun 2007.
Meneroka sumber pertumbuhan baru dan meningkatkan produktiviti pekerja, meningkatkan kualiti dan akses kepada sistem pendidikan negara melalui pelaksanaan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan dan Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara.
Mengurangkan kadar kemiskinan keseluruhan daripada 5.7% pada tahun 2004 kepada 3.6% pada tahun 2007, manakala kemiskinan tegar pula menyusut daripada 1.2% kepada 0.7% pada tahun 2007.
Mengurangkan jurang ekonomi antara kumpulan etnik antara wilayah, dan antara bandar dan luar bandar. Melahirkan hampir 68,000 orang usahawan baru di samping melatih seramai lebih daripada 120,000 orang usahawan melalui pelbagai program pembangunan usahawan.
Memastikan akses yang lebih baik kepada penjagaan kesihatan, kemudahan perumahan, memperluas jaringan jalan raya ke kawasan luar bandar, menyediakan pengangkutan awam yang lebih baik dan meningkatkan keselamatan jalan raya dan meningkatkan keberkesanan sistem penyampaian sektor awam termasuklah menggantikan Certificate of Fitness for Occupation atau CFO yang dikeluarkan oleh pihak kerajaan tempatan dengan Certificate of Completion and Compliance dengan izin Tuan Yang di-Pertua, CCC serta mengurangkan kos menjalankan perniagaan melalui Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan atau PEMUDAH.
Jelaslah kepada kita bahawa pencapaian dalam tempoh masa pelaksanaan Rancangan Malaysia Kesembilan setakat ini bukan hanya terbatas kepada perancangan mahupun retorik semata-mata tetapi terjelma dalam pencapaian yang hakiki. Justeru itu, pembentangan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesembilan pada hari ini amat penting bagi menjamin kesinambungan agenda pembangunan negara apatah lagi dalam suasana ekonomi semasa yang amat mencabar.
Sekiranya tidak ditangani secara wajar, kenaikan harga minyak dan komoditi yang mendadak serta kemelut dalam pasaran kewangan dunia yang masih berlanjutan akan menjejaskan usaha kita untuk mengekalkan kestabilan ekonomi dan mencapai pertumbuhan yang mapan. Oleh itu saya ingin menegaskan salah satu objektif utama bagi Fasa Kedua dalam pelaksanaan Rancangan Malaysia Kesembilan adalah untuk memastikan agar mutu hidup rakyat tetap terpelihara. Program-program peningkatan keselamatan serta jaringan keselamatan sosial akan terus dilaksanakan dan diperkasa.
Tuan Yang di-Pertua, pada masa yang sama, Kajian Separuh Penggal ini juga tidak melupakan keperluan untuk terus meningkatkan kapasiti dan daya saing negara.
Pembinaan infrastruktur, pembangunan modal insan dan perkembangan sektor-sektor pertumbuhan baru akan terus dipacu dengan mengambil kira keperluan jangka panjang pembangunan negara.
Bagi memastikan agar Malaysia mengekalkan momentum pertumbuhan yang positif, agenda pembangunan negara akan terus di rencana berdasarkan lima teras utama Misi Nasional iaitu:
(i) meningkatkan nilai tambah dalam ekonomi negara;
(ii) meningkatkan keupayaan pengetahuan kreativiti dan inovasi negara serta memupuk minda kelas pertama;
(iii) menangani masalah ketidaksamaan sosioekonomi secara membina dan produktif;
(iv) meningkatkan tahap dan kemapanan kualiti hidup; dan
(v) menubuhkan keupayaan institusi dan pelaksanaan negara.
Tuan Yang di-Pertua, dalam tempoh tahun 2006 sehingga 2007, KDNK sebenar negara berkembang sebanyak 6.1% setahun melebihi sasaran 6%.
Pendapatan per kapita rakyat meningkat sebanyak 10.6% setahun kepada RM23,066.
Pendapatan per kapita berdasarkan pariti kuasa beli meningkat lebih tinggi sebanyak 14.2% kepada USD13,529 pada tahun 2007.
Diberi maklumat mengikut USD sebab ini adalah kebiasaan ukuran bagi menentukan pendapatan per kapita berdasarkan pariti tetapi Ringgit Malaysia ialah RM46,478. Pertumbuhan ini dicapai dalam suasana harga yang stabil. Kadar pengangguran pula berada pada tahap 3.3% pada tahun 2007 mencerminkan paras guna tenaga yang penuh.
Perdagangan luar terus mencatat kemajuan di mana jumlah dagangan negara kini mencapai tahap purata hampir RM100 bilion sebulan. Rizab luar bersih juga meningkat kepada RM5.7 bilion cukup bagi membiayai keperluan import tertangguh kepada selama 8.4 bulan. Kemajuan ekonomi yang membanggakan ini tercapai dalam suasana kerajaan terus mengamalkan dasar fizikal berhemah.
Tuan Yang di-Pertua, pertumbuhan ekonomi negara yang pesat ini telah diterajui oleh sektor swasta. Dengan pertumbuhan pelaburan swasta pada kadar 8.6% setahun, aliran masuk bersih pelaburan asing langsung FDI juga meningkat sebanyak 39.3% setahun kepada RM29.1 bilion pada tahun 2007. Pelaburan awam turut meningkat sebanyak 8.9% setahun berikutan pelaksanaan pesat projek pembangunan Rancangan Malaysia Kesembilan.
Sektor perkhidmatan merupakan penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi dengan peningkatan pada kadar 8.5% setahun. Pertumbuhan ini diterajui oleh subsektor kewangan, insurans, hartanah dan perkhidmatan perniagaan. Di samping itu, sumbangan sektor perkhidmatan diperkukuhkan lagi oleh perkembangan ketara dalam subsektor perdagangan borong dan runcit, penginapan dan restoran serta subsektor pengangkutan yang dibantu oleh kejayaan gemilang program Tahun Melawat Malaysia tahun 2007.
Sektor pembuatan mengalami pertumbuhan sederhana sebanyak 5.1% setahun ekoran kelembapan permintaan global bagi keluaran elektronik serta permintaan dalam negeri yang rendah bagi kenderaan pengangkutan. Sektor pertanian pula mencatat pertumbuhan yang sederhana iaitu pada kadar purata 3.8% setahun. Ini berikutan bencana banjir yang berlaku pada akhir tahun 2006 dan awal tahun 2007 yang telah mempengaruhi prestasi dan sumbangan sektor pertanian kepada ekonomi negara. Walau bagaimanapun, sektor pembinaan telah kembali pulih dan diperkukuhkan lagi melalui pelaksanaan projek-projek pembangunan di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan.
Tuan Yang di-Pertua, bagi tempoh akhir perancangan Malaysia Kesembilan, kerajaan akan terus melaksanakan pengurusan ekonomi mikro yang berhemah bagi memastikan asas ekonomi terus kukuh dengan jangkaan ekonomi dunia yang sederhana sebanyak 4.1% setahun bagi tempoh tahun 2008 hingga tahun 2010, ekonomi Malaysia dijangka mampu berkembang secara purata 6% setahun.
Pertumbuhan ini dijangka akan disokong oleh permintaan dalam negeri dan luar negara terutamanya permintaan yang masih kukuh di kalangan negara rantau Asia khususnya Negara China dan India.
Permintaan swasta dijangka terus menjadi peneraju pertumbuhan ekonomi di mana pelaburan swasta dijangka berkembang sebanyak 10.6% dengan jumlah pelaburan dengan harga semasa dianggar mencapai RM305.8 bilion bagi tempoh tahun 2008 sehingga 2010. Sektor perkhidmatan, pembuatan dan pertanian dijangka terus menjadi penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi khususnya sektor perkhidmatan dijangka mencatat perkembangan sebanyak 7.9% setahun yang diterajui oleh subsektor kewangan, insurans, hartanah dan perkhidmatan perniagaan.
Sektor pembuatan pula dijangka mencatatkan pertumbuhan yang lebih perlahan pada kadar 3% setahun berikutan kelembapan permintaan global yang berterusan terhadap keluaran elektrik dan elektronik. Namun industri pembuatan bagi pasaran domestik, dijangka akan berkembang pesat terutamanya industri berkaitan pembinaan serta pertanian juga akan terus diberi penekanan terutamanya subsektor tanaman makanan bagi menyokong dasar jaminan bekalan makanan negara.
Sektor ini dijangka berkembang pada kadar 4.1% setahun. Sektor pembinaan pula dijangka terus mencatat pertumbuhan yang kukuh dengan kadar purata sebanyak 5.8% setahun. Kerajaan juga akan terus memberi tumpuan ke arah mengukuhkan kedudukan kewangan kerajaan. Sehubungan ini, langkah-langkah akan diambil untuk meluaskan asas hasil bagi meningkatkan pendapatan negara.
Kualiti dan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam akan dipertingkatkan manakala bantuan kepada golongan miskin dan yang memerlukan akan diteruskan melalui langkah-langkah pengukuhan kedudukan kewangan. Kerajaan menjangka akan dapat mengekalkan defisit fiskal pada tahap 3.2% daripada KDNK pada tahun 2010 sekali gus memastikan agar kewangan negara terus diurus secara berhemah dan fleksibel bagi menghadapi sebarang ketidaktentuan termasuk risiko kemelesetan ekonomi dan masa hadapan.
Tuan Yang di-Pertua, teras pertama misi nasional iaitu meningkatkan ekonomi dan rantaian nilai lebih tinggi merupakan prasyarat untuk meningkatkan kedudukan ekonomi Malaysia ke arah kelas ekonomi berpendapatan tinggi. Tiga strategi utama bagi mencapai tujuan ini adalah pertama, meningkatkan produktiviti dan daya saing negara. Kedua menjana sumber pertumbuhan baru dan ketiga mengembangkan pasaran bagi barangan dan perkhidmatan Malaysia.
Kerajaan menyedari kepentingan daya inovasi dalam memacu pertumbuhan produktiviti dan daya saing negara. Untuk itu, kerajaan akan memperuntukkan dana sewajarnya bagi tahun penyelidikan bagi tujuan dan pembangunan R&D serta pengkomersialan teknologi. Dalam pada itu, kerjasama antara sektor awam dan swasta dalam penyelidikan yang didorong pasaran akan terus dipertingkatkan.
Kerajaan juga berhasrat untuk menggalakkan lagi penglibatan sektor swasta dalam perkembangan sektor-sektor pertumbuhan baru. Ini termasuklah bidang kewangan Islam dan takaful pembuatan berteknologi tinggi, pelancongan kesihatan, pengajian tinggi dan pertanian berskala besar. Perkembangan bidang-bidang pertumbuhan baru tersebut perlu dipacu dengan penyediaan insentif bersesuaian termasuklah kemudahan pinjaman.
Antara lain kerajaan berhasrat untuk meningkatkan lagi pertumbuhan industri modal teroka. Institusi kewangan, pembangunan, firma ekuiti persendirian dan syarikat modal teroka akan digalakkan untuk menawar terma dan syarat yang lebih menarik di samping memberi sokongan bina upaya kepada syarikat-syarikat yang menerima pelaburan.
Selain itu, rangka kerja perundangan yang berkesan adalah kritikal bagi mewujudkan persekitaran pasaran yang kondusif. Sehubungan itu, perundangan amalan perdagangan adil (fair trade practices) akan diperkenalkan bagi meningkatkan perlindungan bagi harta intelek. Lebih banyak mahkamah harta intelek akan ditubuhkan manakala keupayaan pengamal harta intelek akan dipertingkatkan.
Infrastruktur jalur lebar Tuan Yang di-Pertua, adalah satu perkembangan yang akan dilaksanakan oleh kerajaan kita. Infrastruktur jalur lebar ini berkelajuan tinggi merupakan satu keperluan utama bagi menggalakkan pertumbuhan ekonomi berasaskan pengetahuan. Sehubungan itu, keluasan infrastruktur jalur lebar akan dipertingkatkan menerusi kerjasama antara sektor awam dan swasta bagi mencapai sasaran kadar penembusan jalur lebar setinggi 50% isi rumah menjelang tahun 2010.
Pembangunan sektor tenaga yang mapan juga adalah perlu bagi memastikan bekalan tenaga yang terjamin dalam jangka panjang. Inisiatif kecekapan tenaga akan dipertingkatkan bagi menggalakkan penggunaan tenaga yang produktif dan berhemah.
Kerajaan juga akan mempergiatkan aktiviti R&D dalam bidang tenaga boleh diperbaharui, renewable energy yang mesra alam dan menjimatkan kos ke arah menjamin keselamatan tenaga, energy security. Tujuan ini dan untuk mengambil kira sumber hidrokarbon yang terhad dan semakin menyusut, kerajaan akan merangka sebuah dasar tenaga nasional untuk menjamin keperluan negara dapat dipenuhi dalam jangka masa pendek dan panjang.
Tuan Yang di-Pertua bagi meningkatkan ekonomi dalam rantaian nilai lebih tinggi, bidang-bidang keutamaan telah dikenal pasti bagi memastikan perancangan yang bersepadu serta pelaksanaan yang tersusun dalam sektor perkhidmatan.
Kerjasama sektor awam dan swasta akan dipergiatkan untuk mengambil peluang daripada peningkatan permintaan pasaran serantau terhadap pengajian tinggi, pelancongan, kesihatan dan lain-lain perkhidmatan.
Pembangunan perkhidmatan kewangan Islam khususnya takaful akan terus digalakkan. Antara lain inisiatif Pusat Kewangan Islam Antarabangsa Malaysia MIFC akan terus dipergiatkan bagi meletakan Malaysia supaya menjadi sebuah pusat kewangan Islam yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.
Bagi memanfaatkan potensi bioteknologi sebagai sumber pertumbuhan baru dan penjana kekayaan, syarikat-syarikat bioteknologi akan diberi sokongan dan galakkan. Aplikasi bioteknologi dalam pertanian, penjagaan kesihatan dan penggunaan industri yang akan diperluaskan melalui pemerolehan teknologi penggerakan R&D dan pemakaian amalan makmal terbaik.
Manakala pembangunan sumber pertumbuhan baru dalam bidang pertanian akan turut digalakkan. Tumpuan akan diberikan kepada pelbagai bidang yang berpotensi tinggi termasuklah penanaman kenaf, perikanan laut dalam, penternakan ikan hiasan, ornamental fish dan lain-lain.
Pembangunan industri halal akan diterajui oleh Perbadanan Pembangunan Industri Halal dengan berpandukan Pelan Induk Pembangunan Industri Halal.
Tuan Yang di-Pertua untuk memantapkan kedudukan Malaysia sebagai hab multimedia dan ICT, penekanan akan diberikan kepada bidang-bidang berpotensi tinggi termasuklah perkhidmatan perkongsian dan penyumberan luar, shared services dan outsourcing. Pembangunan kandungan multimedia, multimedia content development dan teknologi analisis ramalan, predictive analysis technology.
Peluasan pasaran adalah perlu bagi meningkatkan daya saing negara.
Sehubungan itu, barangan dan perkhidmatan Malaysia akan dipromosikan secara lebih intensif ke pasaran-pasaran baru termasuklah di Afrika, Asia Barat dan Selatan serta Negara-negara Kesatuan Eropah, EU dan ASEAN. Misi perdagangan akan ditambah dan rangkaian pasaran baru akan diperkukuhkan lagi.
Sistem maklumat pemasaran di pelbagai agensi seperti MATRADE, FAMA dan MDEC akan di naik taraf dan disepadukan bagi memudahkan usaha import dan eksport. Program membina imej Malaysia dan produk jenama Malaysia akan terus dipergiat.
Di samping itu peraturan pengiktirafan bersama, mutual recognition arrangement, perjanjian perdagangan bebas dan peraturan pelbagai hala, multilateral arrangement akan terus dirundingkan bagi memudahkan kemasukan barangan dan perkhidmatan Malaysia ke pasaran-pasaran baru.
Pakatan strategik dan usaha sama dengan syarikat antarabangsa ternama akan dipertingkatkan bagi memperluaskan rangkaian pasaran bagi barangan dan perkhidmatan berasaskan pertanian, pembuatan dan ICT. Persijilan halal Malaysia akan terus dipromosikan sebagai piawaian halal bertaraf global.
Tuan Yang di-Pertua dalam teras kedua misi nasional usaha melahirkan modal insan berkualiti yang berpengetahuan, berinovasi dan memiliki nilai-nilai positif akan terus diberi keutamaan. Objektif ini akan dicapai melalui perlaksanaan lima strategi utama:
(i) memperkukuh program pendidikan dan latihan;
(ii) menjadikan sekolah kebangsaan sebagai sekolah pilihan;
(iii) membina institusi pengajian tinggi bertaraf antarabangsa;
(iv) menggalakkan R&D dan meningkatkan daya inovasi; dan
(v) memupuk nilai moral dan etika yang kukuh.
Tuan Yang di-Pertua, pendidikan terus diberi penekanan utama dalam rancangan pembangunan kerajaan. Antara lain, perhatian akan diberikan kepada pendidikan di kawasan luar bandar dan bagi mengurangkan jurang yang masih luas dalam pencapaian akademik antara pelajar sekolah luar bandar dengan bandar.
Sehubungan itu sebanyak RM13.5 bilion akan diperuntukkan bagi menaikkan taraf infrastruktur sekolah, menyediakan kemudahan ICT serta menggalakkan lebih ramai guru berpengalaman berkhidmat di kawasan luar bandar. [Tepuk] Perkhidmatan khusus akan diberikan kepada sekolah-sekolah luar bandar di negeri Sabah dan Sarawak. [Tepuk] Di samping itu, sekolah jenis kebangsaan aliran Cina dan Tamil akan terus dibantu dan dipertingkatkan. [Tepuk] Pendidikan pra sekolah juga akan diberi perhatian untuk memastikan mutu pengajaran kerajaan akan menyeragamkan kurikulum pra sekolah agar semua murid akan dapat membaca dan mengira sebelum memulakan pendidikan formal di peringkat sekolah rendah.
Kerajaan akan turut memberi tumpuan bagi meningkatkan akses kepada pengajian tinggi. Enrolmen di institusi pendidikan tinggi awam akan bertambah apabila kampus tetap bagi tiga universiti baru iaitu Universiti Darul Iman Malaysia, Universiti Malaysia Kelantan, Universiti Pertahanan Malaysia siap dibina.
Di samping itu pelaksanaan program francais UiTM akan meningkatkan enrolmen pelajar UiTM ke arah pencapaian sasaran 200 ribu pelajar menjelang tahun 2010. [Tepuk] Institusi teknikal dan vokasional pula akan terus di perkasa melalui pelaksanaan Pelan Induk Pembangunan Kemahiran dan Latihan.
Enrolmen pelajar dalam bidang pendidikan teknikal dan latihan vokasional akan ditingkatkan menerusi penggunaan kapasiti sedia ada. Pembiayaan pelajar di institusi latihan swasta serta peruntukan tambahan kepada pembangunan tabung pembangunan serta peruntukan tambahan kepada Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran.
Tuan Yang di-Pertua, bagi membantu pelajar-pelajar tercicir, pembinaan Pusat GiatMARA baru akan dipercepatkan di mana 80% pengambilan akan dikhaskan untuk kumpulan pelajar tercicir. Di samping itu, pelaksanaan Sistem Latihan Dual Nasional yang menekankan latihan praktikal di industri akan dibuka kepada kumpulan pelajar yang tercicir.
Bagi menggalakkan proses pembelajaran secara berterusan, penyertaan dalam program pembelajaran sepanjang hayat akan ditingkatkan dengan melaksanakan proses kemasukan yang lebih fleksibel serta mengambil kira pengalaman kerja.
Bagi meningkatkan penyertaan industri, pengecualian cukai akan diberi ke atas perbelanjaan yang dikeluarkan bagi melatih pekerja mereka di kolej komuniti pada peringkat diploma. Kewangan dalam bentuk elaun bulanan dan yuran pengajian juga akan dipertimbangkan bagi pelajar-pelajar di kolej komuniti. Maka dengan cara ini adalah menjadi harapan bahawa kolej komuniti akan dapat melaksanakan peranan untuk meningkatkan lagi keupayaan dan menambahkan lagi pelajar-pelajar ataupun bekas pelatih yang mempunyai kemahiran-kemahiran yang diperlukan oleh pasaran.
Tuan Yang di-Pertua selaras dengan hasrat kerajaan untuk menjadikan sekolah kebangsaan sebagai sekolah pilihan semua kaum, pelbagai usaha akan terus dilaksanakan bagi meningkatkan kualiti dan kemudahan pengajaran di sekolah-sekolah tersebut. Antara lain pengajaran bahasa Mandarin dan Tamil di sekolah-sekolah kebangsaan akan dipertingkatkan lagi. Sebuah sistem penarafan akan dilaksanakan bagi tujuan menilai kualiti dan daya saing di kalangan institusi pengajian tinggi awam.
Bagi meningkatkan pengiktirafan antarabangsa, lebih ramai pakar dari universiti luar negara, industri dan badan-badan profesional akan dilantik sebagai panel penilai program akademik yang ditawarkan di IPTA dan IPTS. Manakala sebuah Institusi Penyelidikan Malaysia akan ditubuhkan bagi meningkatkan kerjasama dalam aktiviti penyelidikan dengan universiti-universiti terkemuka dunia.
Tuan Yang di-Pertua, sains dan teknologi adalah penting untuk pembangunan negara. Oleh itu, pelbagai langkah akan terus diambil bagi menambah baik infrastruktur dan sistem inovasi negara. Bagi meningkatkan bilangan penyelidik dan pereka cipta pada masa hadapan, lebih banyak biasiswa akan disediakan bagi peringkat pengajian lepasan ijazah untuk mencapai sasaran 50 penyelidik dan jurutera bagi setiap 10,000 orang pekerja. Sektor swasta juga akan digalakkan untuk turut menyumbang melalui penyediaan biasiswa serta bantuan kewangan bagi R&D dan pengkomersialan teknologi.
Tuan Yang di-Pertua, hasrat untuk menghasilkan modal insan dengan minda kelas pertama menuntut kepada pembinaan masyarakat yang mempunyai nilai modal dan etika yang kukuh. Usaha ini akan terus dipertingkatkan melalui pelaksanaan Pelan Integriti Nasional serta penyerapan prinsip-prinsip Islam Hadhari. Di samping itu, Badan Pencegah Rasuah (BPR) sedang disusun semula sebagai sebuah Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia di samping ditambah kapasitinya bagi meningkatkan keberkesanannya dalam membasmi aktiviti rasuah.
Tuan Yang di-Pertua, teras ketiga Misi Nasional menegaskan semula falsafah pertumbuhan dengan pengagihan bagi menangani ketidaksamaan sosioekonomi yang masih wujud di antara kumpulan etnik, wilayah dan bandar serta luar bandar. Kesan pertumbuhan ekonomi serta langkah kerajaan memperbaiki ketidaksamaan sosioekonomi secara membina dan produktif telah berjaya mewujudkan suasana pembangunan ke arah pertumbuhan dengan pengagihan yang saksama serta mendorong peningkatan dan pengusaha pengagihan saksama peluang-peluang bermutu, equitable distribution of quality opportunities dengan izin, untuk semua rakyat Malaysia.
Bagi meneruskan agenda kesaksamaan ini, enam strategi utama akan dilaksanakan:
(i) membasmi kemiskinan;
(ii) menambah baik pengagihan pendapatan;
(iii) penyusunan semula hak milik;
(iv) menyusun semula guna tenaga;
(v) mencapai keseimbangan wilayah; dan
(vi) membangunkan masyarakat perdagangan dan perindustrian bumiputera.
Tuan Yang di-Pertua, kemiskinan mutlak di Malaysia terus berkurangan.
Insiden kemiskinan keseluruhan di kalangan rakyat Malaysia telah menyusut secara berterusan daripada 5.7% pada tahun 2004 kepada 3.6% pada tahun 2007. Jumlah isi rumah miskin juga berkurangan sebanyak 33% daripada 311,300 kepada 209,000 dalam tempoh yang sama.
Pengurangan insiden dan bilangan isi rumah miskin ini adalah hasil pertumbuhan ekonomi yang mantap serta pelaksanaan pelbagai program dan projek pembasmian kemiskinan. Pengurangan kemiskinan turut berlaku di kedua-dua kawasan bandar dan luar bandar. Insiden kemiskinan bandar berkurangan 2.5% pada tahun 2004 kepada 2% pada tahun 2007. Sementara bagi kawasan luar bandar, insidennya menurun dengan ketara daripada 11.9% kepada 7.1%.
Kejayaan usaha pembasmian kemiskinan jelas terbukti termasuk di negeri Sabah dan Sarawak. Insiden kemiskinan di Sabah telah berkurangan daripada 23% pada tahun 2004 kepada 16% pada tahun 2007. Manakala di Sarawak, insiden kemiskinan menurun daripada 7.5% pada tahun 2004 kepada 4.2% pada tahun 2007.
Lebih membanggakan lagi, kemiskinan tegar kini telah berkurangan daripada 1.2% pada tahun 2004 kepada 0.7% pada tahun 2007. Bilangan isi rumah miskin tegar berkurangan daripada 43% iaitu daripada 67,300 kepada 38,400 dalam tempoh yang sama. Berasaskan prestasi ini, kerajaan yakin sasaran Rancangan Malaysia Kesembilan untuk membasmi kemiskinan tegar menjelang tahun 2010 akan dapat dicapai, insya-Allah.
Dalam tempoh akhir Rancangan Malaysia Kesembilan, usaha pembasmian kemiskinan akan terus di perkasa. Peruntukan mekanisme pemantauan dan penilaian yang lebih tersusun di pelbagai peringkat pentadbiran meliputi negeri dan diarah akan dilaksanakan. Usaha ini akan diterajui oleh focus group mengenai kemiskinan yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara.
Usaha pembasmian kemiskinan di kawasan luar bandar akan berpaksi kepada penyediaan infrastruktur asas penjanaan pendapatan dan pembangunan modal insan. Projek agropolitan yang melibatkan pembangunan tanah bersepadu untuk meningkatkan taraf hidup golongan miskin di kawasan luar bandar akan terus dilaksanakan di Pahang, Terengganu, Perak, Johor, Sabah dan Sarawak.
Bagi golongan miskin di kawasan bandar, program penjanaan pendapatan dan penyediaan keperluan asas perumahan serta kemudahan sosial lebih baik akan dilaksanakan bagi mengurangkan beban kenaikan kos sara hidup.
Antara lain, skim jaringan keselamatan sosial atau dengan izin social safety net yang telah dilancarkan pada tahun 1990 akan terus diperkukuh dan diperluaskan dengan pelbagai bantuan. Di antara bantuan yang diberikan adalah bantuan kepada kanak-kanak, orang tua, orang kurang upaya, pesakit kronik dan bantuan anggota palsu. Program-program ini merupakan tambahan kepada dasar-dasar sedia ada seperti pelajaran dan perkhidmatan kesihatan yang terdapat secara murah dan percuma.
Tuan Yang di-Pertua, program pembasmian kemiskinan untuk kumpulan minoriti serta golongan miskin tidak produktif akan dirancang dengan mengambil kira perbezaan keperluan dan tahap pembangunan mereka. Program pembangunan tanah dalam usaha mengurangkan kadar keciciran di kalangan orang asli akan dimantapkan.
Usaha juga akan diambil untuk meningkatkan taraf hidup termasuk penyediaan akses yang lebih baik kepada pendidikan, kesihatan dan kemudahan asas bagi kumpulan minoriti di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak.
Tuan Yang di-Pertua, pendapatan isi rumah purata di kalangan rakyat Malaysia terus mencatat peningkatan iaitu dari RM3,249 pada tahun 2004 kepada RM3,686 pada tahun 2007. Peningkatan ini adalah hasil pertumbuhan ekonomi yang positif, lantas menggalakkan penjanaan peluang pekerjaan bagi meningkatkan pendapatan di kalangan semua rakyat Malaysia.
Semua kumpulan etnik mencatatkan peningkatan pendapatan isi rumah dalam tempoh yang sama. Pada tahun 2007, pendapatan isi rumah purata kaum bumiputera meningkat sebanyak 5.2% setahun kepada RM3,156 sebulan. Manakala isi rumah kaum Cina meningkat pada kadar 3% setahun kepada RM4,853 dan isi rumah India pada kadar 3.2% kepada RM3,799.
Hasil daripada peningkatan pendapatan isi rumah luar bandar yang lebih tinggi, nisbah ketidaksamaan pendapatan purata antara luar bandar dengan bandar telah bertambah baik iaitu daripada 1:2.11 pada tahun 2004 kepada 1:1.91 pada tahun 2007, melepasi sasaran Rancangan Malaysia Kesembilan iaitu 1:2 menjelang tahun 2010.
Ketidaksamaan pendapatan purata antara kaum bumiputera dengan kaum Cina terus bertambah baik dengan nisbahnya mengecil daripada 1:1.64 pada tahun 2004 kepada 1:1.54 pada tahun 2007. Ketidaksamaan antara kaum bumiputera dengan kaum India juga bertambah baik dengan nisbahnya menyusut kepada 1:1.27 kepada 1:1.20 pada tempoh yang sama.
Untuk meneruskan usaha merapatkan jurang pendapatan, penekanan akan diberikan kepada pembinaan modal insan melalui peningkatan kemahiran dan penerapan nilai-nilai positif, khususnya tumpuan akan diberikan kepada peningkatan tambahan pendapatan di kalangan isi rumah 40% terendah bagi membentuk kumpulan berpendapatan pertengahan yang lebih besar dan makmur.
Tuan Yang di-Pertua, pemilikan ekuiti bumiputera dalam sektor korporat telah meningkat daripada 18.9% pada tahun 2004 kepada 19.4% pada tahun 2006. Bagi meneruskan pencapaian ini ke arah merealisasikan sekurang-kurangnya 30% pemilikan bumiputera menjelang tahun 2020, beberapa langkah akan dilaksanakan:
(i) penekanan yang lebih akan diberi bagi memastikan bumiputera mempunyai kawalan kepentingan dalam syarikat swasta. Golongan bumiputera akan digalakkan untuk melabur dalam sektor-sektor pertumbuhan baru seperti teknologi maklumat dan komunikasi ICT, bioteknologi, fotonik, nanoteknologi, pembuatan termaju dan kejuruteraan kepersisan;
(ii) peranan industri bumiputera seperti Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Tabung Haji akan diperkasakan;
(iii) graduan bumiputera yang berbakat dan mempunyai idea kreatif dan inovatif akan diberi modal bagi mengkomersialkan idea mereka; dan
(iv) sebuah pangkalan data akan dibina bagi tujuan membantu prestasi golongan bumiputera dalam sektor korporat.
Tuan Yang di-Pertua, bagi meningkatkan pemilikan ekuiti di kalangan golongan bumiputera di Sabah dan Sarawak, usaha-usaha seperti Skim Unit Amanah Pembangunan Keusahawanan dan Latihan Kemahiran akan diberi penekanan lebih serius.
Bagi meningkatkan pemilikan aset bukan kewangan di kalangan kumpulan bumiputera di Sarawak, tanah peribumi dan adat akan terus dibangunkan bagi tujuan komersial.
Pemilikan ekuiti sektor korporat juga telah meningkat bagi golongan bukan bumiputera, daripada 40.6% pada tahun 2004 kepada 43.9% pada tahun 2006.
Walaupun peratusan pemilikan etnik India menurun sedikit daripada 1.2% kepada 1.1%, namun dari segi nilai mutlak, tahap pemilikan etnik India telah meningkat sebanyak RM575.2 juta iaitu 9% dalam tempoh tersebut.
Bagi meningkatkan pemilikan ekuiti korporat di kalangan etnik India kepada 1.5% menjelang tahun 2010, usaha terus dijalankan bagi meningkatkan akses kepada program-program latihan kemahiran dan keusahawanan. Di samping itu, bantuan juga akan diberikan kepada golongan kaum India untuk meningkatkan pemilikan ekuiti melalui skim unit amanah.
Tuan Yang di-Pertua, usaha menyusun semula guna tenaga akan diteruskan melalui program-program pendidikan, latihan kemahiran serta pembangunan keusahawanan. Langkah-langkah akan terus diambil bagi menggalakkan pengambilan lebih ramai daripada golongan bumiputera, komuniti India dan kumpulan minoriti di peringkat pengurusan dan profesional dalam sektor swasta. Di samping itu, lebih ramai kaum bukan bumiputera akan digalakkan untuk bekerja dalam sektor awam.
Tuan Yang di-Pertua, dalam pada itu pembangunan koridor pertumbuhan diperkenalkan bagi memacu pertumbuhan ekonomi dan mengagihkan peluang-peluang bermutu ke seluruh pelosok tanah air. Kita tidak mahu pembangunan tertumpu di kawasan-kawasan bandar tertentu sahaja. Untuk itu, lima koridor pertumbuhan telah pun dilancarkan. Tempoh pembangunan akan mengambil masa antara 20 hingga 30 tahun tetapi Insya-Allah, kerajaan akan berusaha untuk memastikan bahawa rakyat dapat merasai faedah dari inisiatif ini secepat mungkin.
Kerajaan berhasrat untuk menarik minat pihak swasta, tidak kira pelabur tempatan ataupun pelabur asing untuk melaburkan dana dalam koridor-koridor pertumbuhan. Untuk tujuan ini, pelbagai pakej insentif akan ditawarkan oleh kerajaan.
Di samping itu, setiap pihak berkuasa koridor akan memperkenalkan inisiatif khusus untuk mewujudkan lebih ramai usahawan termasuk usahawan bumiputera dalam koridor-koridor tersebut.
Bagi memastikan pelaksanaan projek dan pemantauan berjalan dengan berkesan, saya telah mengarahkan supaya setiap pihak berkuasa koridor melaporkan kemajuan pembangunan di kawasan koridor masing-masing secara berkala kepada Jemaah Menteri setiap tiga bulan.
Tuan Yang di-Pertua, pelaksanaan fasa kedua bagi pembangunan, membangunkan masyarakat perdagangan dan perindustrian bumiputera akan terus diberi penekanan melalui pelaksanaan inisiatif pembangunan kluster yang diterajui oleh sektor swasta. Inisiatif ini dijangka akan dapat meningkatkan penyertaan bumiputera dalam sebelas sektor utama iaitu sektor pembinaan logistik, pengedaran perdagangan bagi memacu pembangunan usahawan bumiputera, pendekatan seperti pembangunan francais, penyertaan strategik dalam rantaian perniagaan dan penyenaraian syarikat bumiputera di Bursa Malaysia akan terus dipergiatkan.
Tuan Yang di-Pertua, kerajaan sentiasa menekankan bahawa pertumbuhan ekonomi negara perlu disertai dengan peningkatan kualiti hidup untuk seluruh rakyat Malaysia. Bagi mencapai matlamat ini, kerajaan akan menekankan enam strategi utama:
(i) meningkatkan perkhidmatan penjagaan kesihatan;
(ii) memenuhi keperluan perumahan dan penambahbaikan perkhidmatan bandar;
(iii) membina infrastruktur asas;
(iv) menambah baik kemudahan pengangkutan;
(v) memastikan pemuliharaan alam sekitar dan pengurusan sumber secara mampan; dan
(vi) menjana pembangunan masyarakat yang positif.
Tuan Yang di-Pertua, penyediaan perkhidmatan penjagaan kesihatan dan peningkatan kualiti, akan terus diberi perhatian. Antara lain, akses kepada penjagaan kesihatan bagi golongan orang asli dan kumpulan minoriti di kawasan pendalaman Sabah dan Sarawak akan dipertingkatkan. Klinik bergerak termasuk perkhidmatan doktor udara akan ditambah bagi kawasan terpencil.
Satu cabaran utama yang mendepani sektor kesihatan adalah kekurangan pekerja dalam sektor kesihatan awam. Untuk itu pengambilan pelajar ke institusi pengajian tinggi bagi kursus-kursus kritikal akan dipertingkatkan. Kerajaan juga akan mempertimbangkan pakej faedah (benefits package) yang lebih baik bagi mengekalkan para doktor dan pekerja dalam sektor kesihatan awam.
Tuan Yang di-Pertua, pembangunan perumahan akan menekankan penyediaan rumah yang mencukupi, mampu dibeli atau disewa dan berkualiti kepada semua rakyat terutamanya golongan berpendapatan rendah dan menengah. Antara lain, pelaksanaan program perumahan kos rendah akan dipercepatkan dalam tempoh akhir Rancangan Malaysia Kesembilan, dengan pembinaan tambahan 18,500 unit rumah rakyat disewa. Di samping itu, sebanyak 12,300 unit rumah mampu milik akan dibina menjelang tahun 2010.
Di kawasan bandar, kualiti pengurusan sisa pepejal akan ditingkatkan melalui pelaksanaan skim kutipan, pengangkutan dan pelupusan sisa pepejal secara lebih cekap dan menjimatkan. Di samping itu, pelbagai inisiatif pengurusan sisa pepejal termasuk skim pengurangan sisa pepejal dan kitar semula akan dipertingkatkan pelaksanaannya.
Tuan Yang di-Pertua, kerajaan tetap komited ke arah memastikan agar setiap rakyat Malaysia menikmati infrastruktur asas yang diperlukan bagi kehidupan seharian khususnya bagi bekalan air dan tenaga elektrik. Penggunaan teknologi moden seperti penjana kuasa solar, turbin angin dan sistem penuaian hujan akan dipertingkatkan khususnya bagi kawasan pendalaman. Di kawasan-kawasan populasi tinggi seperti Lembah Klang, mutu sistem bekalan air dan pembetungan akan dipertingkatkan dengan tertubuhnya Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara atau SPAN.
Tuan Yang di-Pertua, peningkatan sistem pengangkutan awam terus menjadi keutamaan kerajaan terutamanya berikutan penstrukturan semula subsidi minyak dan gas baru-baru ini. Sebuah jawatankuasa di bawah Majlis Inflasi yang dianggotai oleh pihak kerajaan dan juga swasta termasuk NGO, satu jawatankuasa khusus yang berkaitan dengan usaha-usaha untuk menambahbaikkan lagi pengangkutan darat akan menyediakan laporan tentang langkah-langkah yang akan diambil secepat mungkin untuk memastikan bahawa sistem pengangkutan awam akan menjadi sistem yang berupaya memberi perkhidmatan yang baik kepada rakyat.
Ini akan diumumkan apabila nanti jawatankuasa kepada majlis yang berkenaan itu telah mengemukakan cadangan-cadangan mereka dan kemudiannya akan juga diluluskan oleh Jemaah Menteri.
Sehubungan itu liputan sistem rel transit bandar akan diperluas dan lebih banyak terminal pengangkutan awam bersepadu akan dibina. Di samping itu, kecekapan perkhidmatan komuter, bas dan teksi akan ditingkatkan bagi mengurangkan penggunaan kenderaan persendirian berbanding pengangkutan awam khususnya di kawasan Lembah Kelang.
Bagi memastikan agar pembangunan sektor pengangkutan di masa hadapan berjalan dengan lebih lancar dan tersusun, kerajaan akan menubuhkan sebuah suruhanjaya pengangkutan awam dan merangka sebuah pelan induk pengangkutan.
Bagi memenuhi liputan yang masih tidak mencukupi terutama di Sabah dan Sarawak, rangkaian jalan raya luar bandar akan diperluaskan lagi. [Tepuk] Usaha ini dijangka akan dapat menggalakkan lagi pertumbuhan ekonomi di kawasan-kawasan pendalaman.
Tuan Yang di-Pertua, kerajaan sentiasa prihatin terhadap kesan proses pembangunan ke atas alam sekitar, khususnya penekanan akan diberikan kepada usaha meningkatkan kualiti udara dan air secara berterusan, di samping mengurangkan pencemaran sumber air dan tanah akibat pembuangan haram sisa pepejal serta bahan toksik yang berbahaya.
Di samping itu, fenomena perubahan iklim turut diberi perhatian. Tumpuan akan diberi ke arah meningkatkan penggunaan tenaga yang cekap di samping sumber tenaga yang boleh diperbaharui, serta menambah baik sistem pengangkutan awam.
Langkah-langkah pencegahan seperti program tebatan banjir akan turut dilaksanakan supaya impak daripada fenomena perubahan iklim dapat ditangani dengan berkesan.
Tuan Yang di-Pertua, penjanaan pembangunan masyarakat yang positif antara lain merangkumi pembangunan sekeluarga, belia, sukan, kebudayaan, kesenian dan warisan. Bagi memperkukuh institusi kekeluargaan secara menyeluruh sebuah dasar keluarga negara akan digubal. Usaha tersebut akan melibatkan pelbagai perkhidmatan sokongan termasuk kaunseling, latihan kemahiran, keibubapaan dan perkhidmatan kesihatan reproduktif.
Memandangkan golongan belia merupakan generasi pemimpin masa depan negara, mereka perlu dilengkapi dengan kemahiran yang diperlukan. Program-program pembangunan belia akan tertumpu kepada aspek-aspek sosialisasi, kepimpinan dan pendidikan di mana penglibatan sektor swasta, NGO dan persatuan-persatuan belia akan diberi penekanan.
Dalam usaha pembangunan sukan, penekanan akan diberikan kepada aspek kehidupan aktif dan sihat, di samping mengasah bakat kesukanan ke arah kecemerlangan sukan. Antara lain persatuan-persatuan sukan akan dipertingkatkan keupayaan bagi memastikan pencapaian yang gemilang dalam arena sukan.
Pembangunan bidang kebudayaan, kesenian dan warisan akan bertumpu kepada pembangunan nilai-nilai positif serta pemupukan persefahaman dan apresiasi bagi kepelbagaian budaya. Usaha mengasah bakat kesenian akan terus dipertingkatkan melalui program-program kebudayaan, pameran dan cara yang berkualiti tinggi.
Tuan Yang di-Pertua, kerajaan beriltizam untuk terus mempertingkatkan sistem penyampaian perkhidmatan awam. Dengan tertubuhnya Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (PEMUDAH), pelbagai proses dan prosedur kerja serta dasar dan peraturan telah berjaya dinilai dan diperbaiki. Transformasi penyampaian perkhidmatan akan terus dipergiat menerusi tiga strategi utama iaitu:
(i) mengintegrasi perkhidmatan merentasi agensi;
(ii) mewujudkan keyakinan terhadap perkhidmatan berasaskan elektronik; dan
(iii) mengamalkan perancangan, pemantauan dan penilaian berasaskan pencapaian (outcome-based planning, monitoring dan evaluation), dengan izin.
Tuan Yang di-Pertua, untuk meningkatkan fokus kepada keperluan pelanggan, perkhidmatan merentasi semua agensi perlu digembleng dan disampaikan secara mesra pengguna. Kemajuan yang menggalakkan telah dicapai dan usaha meningkatkan penyampaian perkhidmatan kepada pelanggan dan perniagaan khususnya melalui inisiatif e-Government. Satu contoh penting bagi inisiatif ini adalah e- KL yang menggabungkan semua perkhidmatan awam yang berkaitan dalam kawasan Lembah Kelang melalui satu portal internet.
Bagi memperkemaskan pemantauan dan pengurusan aduan, satu sistem aduan yang bersepadu untuk seluruh sektor awam dengan konsep One Number Call Centre, No Wrong Door akan dibangunkan melibatkan semua kementerian dan agensi di semua negeri dan pihak berkuasa tempatan. Di samping itu satu sistem daftar nasional yang bersepadu akan dibangunkan untuk memudahkan perkongsian data merentasi agensi dan mengurangkan kesilapan data atau pertindihan.
Tuan Yang di-Pertua, penggunaan komputer dan rangkaian maklumat telah meningkatkan daya saing dan menambah baik penyampaian perkhidmatan. Walau bagaimanapun, masih banyak yang perlu dilakukan bagi meningkatkan penggunaan perkhidmatan berasaskan elektronik.
Sebagai usaha meningkatkan tahap keyakinan dan kefahaman mengenai keperluan keselamatan siber khususnya keselamatan data peribadi, program kesedaran dan pembelajaran akan disediakan kepada para pengguna perkhidmatan elektronik kerajaan. Sehubungan itu sebuah Rang Undang-undang Perlindungan Data Peribadi kini sedang digubal.
Di samping itu satu garis panduan berkenaan perbankan elektronik akan diperkenalkan bagi mengurangkan risiko dan kelemahan dalam penggunaan perbankan melalui internet.
Tuan Yang di-Pertua, penempatan rancangan pemantauan dan penilaian projek berasaskan pencapaian akan diterima pakai bagi memastikan projek yang dilaksanakan mencapai objektif yang dikehendaki. Fokus akan diberi kepada tiga bidang utama iaitu modal insan, sistem serta struktur organisasi untuk memperkukuhkan kapasiti institusi, kementerian dan agensi. Struktur penyampaian projek akan disusun semula dengan mengambil kira elemen perancangan, pemantauan dan penilaian.
Tuan Yang di-Pertua, di bawah Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesembilan, siling keseluruhan peruntukan pembangunan bagi Rancangan Malaysia Kesembilan dicadangkan akan ditambah daripada RM200 bilion kepada RM230 bilion.
Tambahan ini adalah bagi menampung kenaikan kos pelaksanaan projek-projek sedia ada, berikutan kenaikan harga bahan binaan serta keutamaan-keutamaan baru seperti pembangunan wilayah koridor dan pengeluaran makanan yang mencukupi untuk negara.
Di samping itu, program penswastaan dan inisiatif pembiayaan swasta (PFI) akan juga digunakan sebagai pelengkap kepada pelaburan awam. Bagi menyediakan perkhidmatan awam yang lebih berkualiti, kerajaan akan mempertingkatkan disiplin fizikal dan melaksanakan perolehan-perolehan kerajaan secara tender untuk memastikan value for money, di samping mengurangkan ketirisan dan pembaziran serta menggalakkan amalan terbaik dalam pelaksanaan projek.
Projek pembangunan Rancangan Malaysia Kesembilan adalah dirancang dan dilaksanakan bagi tujuan meningkatkan kesejahteraan rakyat dan membangunkan ekonomi negara. Suka saya menegaskan di sini bahawa Kerajaan Persekutuan akan meneruskan pelaksanaan projek pembangunan Rancangan Malaysia Kesembilan di kesemua negeri.
Projek mesra rakyat yang bertujuan menyediakan kemudahan asas dan memberikan faedah secara langsung kepada rakyat seperti bekalan air, elektrik, kemudahan kesihatan, pendidikan, perumahan awam kos rendah, membasmi kemiskinan dan keselamatan awam akan diberi keutamaan.
Tuan Yang di-Pertua, pelbagai usaha telah kita laksana dan kita gembleng bersama bagi memastikan kedudukan asas ekonomi negara terus kukuh serta berdaya saing. Rancangan pembangunan bagi tempoh 2006 hingga 2010 sedang kita laksanakan, manakala langkah-langkah pembaharuan yang diperlukan telah kita kenal pasti untuk dilaksanakan dalam tempoh akhir Rancangan Malaysia Kesembilan.
Alhamdulillah, sehingga kini hasil pembangunan berteraskan misi nasional ini telah berjaya meningkatkan lagi taraf hidup rakyat serta membentuk masyarakat yang lebih terbuka dan berwibawa. Saya percaya, kita berada pada landasan yang betul ke arah mencapai Wawasan 2020. Namun harus diakui bahawa dalam menempuh tempoh akhir Rancangan Malaysia Kesembilan ini, kita berhadapan dengan pelbagai cabaran yang akan menduga keupayaan kita untuk meneruskan agenda pembangunan negara.
Cabaran terbesar yang kini menghimpit ekonomi negara, tentunya adalah kenaikan harga minyak sedunia. Hakikat kenaikan harga minyak ini merupakan satu fenomena global yang melanda semua negara dan yang disebabkan pelbagai faktor. Di antara sebab utama yang membawa kepada kenaikan harga minyak yang melampau pada waktu ini adalah keadaan geopolitik dunia yang tidak menentu. Serangan ke atas Iraq oleh Amerika Syarikat pada tahun 2003 telah melumpuhkan salah sebuah negara pengeluar minyak utama dunia dan menimbulkan keadaan kacau-bilau di rantau Timur Tengah yang masih belum reda.
Serangan ke atas Afghanistan sebelum itu turut membuat impak negatif kepada kestabilan harga minyak di pasaran dunia. Paling mutakhir, ancaman Israel untuk menyerang Iran turut menyumbang kepada ketegangan geopolitik yang membawa kepada kenaikan harga minyak. Permintaan yang tinggi oleh negara tertentu seperti China dan India di samping keengganan negara-negara OPEC untuk menaikkan tahap pengeluaran minyak secara ketara juga merupakan antara penyebab utama yang membawa kepada kenaikan harga minyak.
Keadaan ini diburukkan lagi oleh kegiatan spekulator pasaran minyak di pusat kewangan antarabangsa seperti di New York dan London yang turut menambah dan menyulitkan ketidaktentuan dalam suasana harga minyak yang semakin meruncing.
Di samping kenaikan harga minyak yang melampau, ekonomi negara turut dihimpit oleh keadaan pasaran kewangan sedunia yang masih belum pulih daripada krisis sub-prima, sub-prime crisis, malah ramai pakar ekonomi menjangka krisis ini mampu membawa kepada kemelesetan ekonomi sedunia yang pastinya akan turut mengheret ekonomi negara Malaysia ke dalam suasana gawat.
Hakikatnya, negara kini berdepan dengan pelbagai cabaran yang cukup genting akibat daripada faktor-faktor luaran yang berada di luar kawalan kita. Untuk mengekalkan keupayaan negara bagi mendepani cabaran-cabaran yang telah saya sebut tadi, maka kerajaan perlu berani membuat keputusan serta cekal melakukan perubahan demi kesejahteraan rakyat dan kepentingan negara dalam jangka masa panjang.
Ini termasuklah keputusan baru-baru ini untuk menyusun semula subsidi minyak dan gas di dalam negara. Kerajaan amat sedar bahawa langkah tersebut telah pun meningkat beban sara hidup. Sungguhpun begitu, kerajaan terpaksa bertindak demikian memandangkan kenaikan harga minyak di pasaran global menyebabkan keadaan kewangan negara semakin terhimpit.
Di samping itu, langkah tersebut dirasakan perlu agar subsidi yang dimaksudkan dapat disampaikan kepada mereka yang benar-benar layak dan memerlukannya. Selain itu, langkah tersebut dapat memberi fleksibiliti kepada kewangan negara dalam berhadapan dengan risiko berlakunya kemelesetan ekonomi sedunia dalam waktu terdekat ini.
Dalam suasana kenaikan harga minyak dan ketidaktentuan yang disebabkan oleh faktor-faktor luaran, amat sukar bagi sesebuah negara seperti Malaysia untuk melindungi rakyatnya secara sepenuhnya daripada impak negatif yang bersifat global.
Sungguhpun begitu, kerajaan terus komited dan tetap komited untuk melaksanakan segala yang termampu bagi meningkatkan keupayaan dan meringankan beban rakyat dan memelihara kualiti hidup dengan baik.
Ini sudah pun menjadi tanggungjawab yang perlu dilaksanakan dan memang pun dirasai pada waktu ini, bahawasanya tindakan yang diambil juga mendatangkan pelbagai reaksi daripada rakyat, kemarahan dan sebagainya. Akan tetapi demi menjalankan tugas dan tanggungjawab dan demi political commitment supaya kita dapat menjaga ekonomi kita, maka kita akan terus berusaha untuk membantu meringankan bebanan rakyat. Maka apa yang perlu dilaksanakan pada waktu ini walaupun menyusahkan rakyat, akan tetap dilaksanakan kerana ini adalah tanggungjawab yang tidak boleh kami lari daripadanya. [Tepuk] Ahli-ahli Yang Berhormat, sesungguhnya seluruh lapisan rakyat harus tabah dan bersatu hati dalam menggembleng tenaga bagi menangani krisis kenaikan harga minyak dan komoditi ini. Ianya merupakan kemelut yang bakal memberi impak negatif, bukan hanya dalam tempoh akhir Rancangan Malaysia Kesembilan, malah untuk tahun-tahun yang seterusnya, mungkin.
Usaha kita harus ditentukan ke arah mendepani cabaran ini dan melakukan penyesuaian, bukannya membenarkan pemimpin dan kumpulan tertentu menangguk di air keruh dan mengapi-apikan sentimen rakyat dengan janji-janji palsu semata-mata.
[Tepuk] [Disorak] Perbuatan yang semata-mata untuk merebut kuasa di luar batasan demokrasi dan memenuhi agenda peribadi... [Disampuk]
Tuan Yang di-Pertua
Ahli-ahli Yang Berhormat, kita kena dengar ucapan Yang Amat Berhormat. Ada peluang nanti untuk berbahas.
Perdana Menteri
Sementara saya dan rakan-rakan sejawat termasuk juga pegawai-pegawai tinggi dan termasuk juga wakil-wakil dari swasta terus mencari, apakah usaha-usaha yang sebaik-baiknya untuk kita membantu rakyat mengurangkan bebanan yang mereka hadapi dan menjamin masa depan yang sedang kita laksanakan. Akan tetapi yang mendukacitakan saya ialah masih ada lagi golongan- golongan yang pada waktu ini yang sedang berusaha bersungguh-sungguh untuk mengambil kesempatan daripada keadaan ini, untuk membawa kepada gangguan- gangguan yang kerananya mereka berkesempatan pula, harapan mereka untuk merampas kerajaan. [Tepuk] [Dewan riuh]
Perdana Menteri
Saya percaya rakyat boleh melihat yang mana benar dan yang mana palsu.
[Disampuk] Saya percaya rakyat bijak menilai langkah-langkah yang diambil bagi memelihara kepentingan rakyat dan bagi menjana kebajikan golongan berpendapatan rendah dan sederhana. Saya percaya kepada suara hati budi rakyat. [Tepuk] Oleh itu Tuan Yang di-Pertua, bagi meneruskan pembangunan yang telah kita capai serta mengharungi cabaran yang bakal kita lalui, marilah kita sama-sama memberikan komitmen yang tidak berbelah-bahagi untuk menjayakan misi nasional kita. Insya-Allah, hasrat kita untuk membina sebuah negara yang selamat, aman dan makmur pastinya akan tercapai. Dengan adanya usaha yang bersungguh-sungguh serta dengan kerjasama yang erat di kalangan kita semua.
Kesungguhan kita mestilah diasaskan kepada keikhlasan dan niat yang baik untuk membuat apa yang terbaik untuk negara dan untuk rakyat sekalian, walaupun menghadapi pelbagai kesusahan pada waktu ini. Yang pentingnya, akhirnya ialah ikhtiar yang berterusan dengan niat dan tujuan yang suci itulah yang akan membawa, insya-Allah, kepada usaha-usaha yang boleh membawa kepada kebaikan rakyat akhirnya.
Kepada Tuhan yang Maha Adil Lagi Maha Bijaksana, kami mohon padaMu supaya Engkau restuilah usaha ini. Berikanlah taufik dan hidayah kepada kami.
Kuatkanlah iltizam kami dan perkasakanlah istiqamah kami agar kami mencapai hasrat dan tujuan kami, kejayaan di dunia serta keredaanMu di alam yang kekal abadi.
Beberapa Ahli
Amin.
Perdana Menteri
Tuan Yang di-Pertua, saya mohon mencadangkan. [Tepuk]
Tuan Yang di-Pertua
Sila, ada Ahli Yang Berhormat yang menyokong.
Timbalan Perdana Menteri - Dato’ Sri Mohd. Najib bin Tun Haji Abdul Razak
Tuan Yang di-Pertua, saya mohon menyokong.
Tuan Yang di-Pertua
Ahli-ahli Yang Berhormat, seperti mana Yang Berhormat sekalian sedia maklum melalui notis pemberitahuan dan takwim yang telah diedarkan, sebanyak lapan hari telah diperuntukkan bagi memutuskan usul ini.
Sebanyak lima hari telah diperuntukkan untuk perbahasan, dan tiga hari pula diperuntukkan untuk kementerian-kementerian menjawab ke atas perbahasan usul berkenaan.
Perbahasan ke atas Usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesembilan ini akan bermula pada hari Isnin, 30 Jun 2008. Oleh yang demikian, Mesyuarat Dewan ini ditangguhkan sehingga jam 10.00 pagi, hari Isnin, 30 Jun 2008.
Dewan ditangguhkan.
Dewan ditangguhkan pada pukul 12.40 tengah hari.