Katalog Hansard
[Timbalan Yang di-Pertua **mempengerusikan Mesyuarat****]
Timbalan Yang di-Pertua
Saya jemput Tan Sri Low Kian Chuan. Usul ya? Oh, sorry, baca usul dulu, minta maaf, salah saya. Silakan Yang Berhormat Menteri.
Menteri Pendidikan - Puan Fadhlina binti Sidek
Terima kasih Yang di-Pertua, Datuk Yang di-Pertua. Tuan Yang di-Pertua, “Bahawa walau apa pun peruntukan-peruntukan Peraturan Mesyuarat 11, Majlis Dewan Negara hari ini tidak akan ditempohkan pada jam 1 tengah hari dan akan bersidang secara terus sehingga selesai semua urusan yang tertera dalam Aturan Urusan Mesyuarat pada hari ini diputus dan diluluskan dan selepas itu Majlis Mesyuarat akan ditangguhkan ke satu tarikh yang tidak ditetapkan.”
Timbalan Yang di-Pertua
Ada sesiapa yang menyokong?
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri - Datuk Seri Johari bin Abdul Ghani
Datuk Yang di-Pertua, saya menyokong.
Timbalan Yang di-Pertua
Ahli-ahli Yang Berhormat, sekarang saya kemukakan masalah kepada Majlis untuk diputuskan. Masalahnya adalah usul seperti yang dikemukakan oleh Yang Berhormat sebentar tadi hendaklah disetujukan.
[Usul dikemukakan bagi diputuskan; dan disetujukan]
Timbalan Yang di-Pertua
Saya persilakan Yang Berhormat Tan Sri Low Kian Chuan.
Tan Sri Dato’ Low Kian Chuan
Selamat pagi, salam sejahtera. Yang Berhormat Datuk Yang di-Pertua, soalan saya nombor 1.
1. Tan Sri Dato' Low Kian Chuan minta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri menyatakan:
(a) apakah perkembangan terkini berhubung loji pemasangan BYD di Malaysia sebagai pengeluar kenderaan elektrik yang telah memenuhi keperluan lokalisasi bagi melayakkan kadar cukai keutamaan di bawah skim Completely Knocked Down (CKD); dan
(b) senarai pengeluar yang telah memulakan pelaburan fizikal di Malaysia termasuk pembinaan loji.
Timbalan Yang di-Pertua
Yang Berhormat Menteri.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri - Datuk Seri Johari bin Abdul Ghani
Terima kasih Datuk Yang di-Pertua. Kerajaan terus menggalakkan aktiviti pemasangan tempatan kenderaan elektrik (EV) dengan melalui pemberian pengecualian duti-duti seperti duti import, duti eksais dan juga cukai jualan bagi kenderaan Completely Knocked Down (CKD) sehingga 31st December 2027. Walau bagaimanapun, kelayakan menikmati insentif tersebut adalah tertakluk kepada pematuhan terhadap peruntukan di bawah Peraturan Kastam 1988 serta syarat-syarat lain yang telah ditetapkan oleh kerajaan.
Mengenai Syarikat BYD yang telah dikemukakan oleh Yang Berhormat, setakat ini MITI tidak menerima sebarang makluman rasmi sama ada mereka akan meneruskan atau tidak pelaburan yang akan dilakukan di Tanjong Malim dengan syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh kerajaan.
Untuk pengetahuan Yang Berhormat, sebarang keputusan untuk meneruskan atau menangguhkan atau mengubah pelan pelaburan adalah merupakan keputusan komersial syarikat-syarikat tersebut.
Untuk makluman Yang Berhormat, beberapa syarikat pengeluar kenderaan telah mengemukakan pelaburan fizikal di Malaysia melalui pembinaan dan pengoperasian kilang pemasangan tempatan. Selain daripada PROTON dan Perodua yang kita semua tahu, syarikat OEM lain yang mempunyai kilang pemasangan milik sendiri di Malaysia adalah seperti berikut:
(i) Honda Malaysia Sdn. Bhd. – yang mempunyai kilang pemasangan kenderaan penumpang berjenama Honda di Pegoh, Melaka;
(ii) Assembly Services Sdn. Bhd. – Kilang pemasangan kenderaan penumpang jenama Toyota di Bukit Raja, Selangor;
(iii) Volvo Car Manufacturing Sdn. Bhd. – Kilang pemasangan kenderaan penumpang jenama Volvo di Shah Alam, Selangor;
(iv) Tan Chong Motor Assembly Sdn. Bhd. – Kilang pemasangan Segambut di Kuala Lumpur dan Serendah;
(v) Chery Corporation Malaysia Sdn. Bhd. – Pengilang pemasangan di Shah Alam di Selangor bagi jenama Chery; dan
(vi) Stellantis Malaysia Sdn. Bhd. – Kilang pemasangan di Gurun Kedah bagi jenama Peugeot, Leapmotor di bawah kumpulan Stellantis.
Selain itu, terdapat juga beberapa syarikat pemasangan pihak ketiga secara kontrak, contract assembler yang menjalankan aktiviti pemasangan tempatan bagi pihak OEM di antaranya:
(i) Inokom Corporation Sdn. Bhd. di Kulim, Kedah bagi jenama Mazda, Chery, BMW, Mini, Porsche, Honda;
(ii) HICOM Automotive Manufacturing Sdn. Bhd. Pekan Pahang bagi jenama Mercedes-Benz, Mitsubishi dan Volkswagen;
(iii) Berjaya Assembly Sdn. Bhd. di Tebrau Johor bagi jenama Jetour; dan
(iv) PEPS-JV (Melaka) Sdn. Bhd. di Melaka bagi jenama bawah Great Wall Motor Expands, SAIC Motor, MG.
Senarai ini menunjukkan bahawa Malaysia mempunyai kapasiti pemasangan dan pengeluaran automotif yang kukuh melibatkan pengeluar nasional, pengeluar antarabangsa serta syarikat pemasangan pihak ketiga. Sehubungan itu, kerajaan akan terus memantau tahap penggunaan kapasiti sedia ada dan memastikan setiap pelaburan baharu benar-benar menyumbang kepada peningkatan nilai tambah domestik, pembangunan vendor tempatan, pemindahan teknologi dan pewujudan pekerjaan berkemahiran tinggi serta mengukuhkan aktiviti eksport.
Pendekatan ini penting bagi memastikan kapasiti pengeluaran negara dimanfaatkan secara optimum dan terus menyokong pembangunan industri automotif yang berdaya saing serta mampan. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua
Soalan tambahan Tan Sri Low.
Tan Sri Dato’ Low Kian Chuan
Ya, terima kasih Datuk Yang di-Pertua. Terima kasih Yang Berhormat Menteri atas jawapan yang terperinci.
Soalan tambahan saya, apakah langkah kerajaan untuk memastikan pelaburan pengeluar EV dapat meningkatkan penyertaan vendor tempatan termasuk penggunaan komponen tempatan, pemindahan teknologi kepada syarikat Malaysia? Dan apakah sasaran peratusan kandungan tempatan atau local content yang ditetapkan bagi pengeluar EV di bawah skim CKD? Dan bagaimanakah kerajaan memantau pematuhan terhadap syarikat tersebut? Terima kasih.
Datuk Seri Johari bin Abdul Ghani
Terima kasih, Yang Berhormat. Dasar kita di Malaysia ini, kita akan alu-alukan kehadiran mana-mana pelabur datang ke dalam negara kita untuk melabur dan menjalankan aktiviti perniagaan, tetapi dalam Dasar Automatif Nasional 2020, apa yang kita tekankan, kalau kita tengok, dia ada dua objektif yang kita perlu capai.
Satu kita juga sebagai sebuah negara, kita ada pembuat kereta, manufacturing based dalam negara kita ini, macam PROTON dan Perodua. Mereka ini mempunyai nilai tambah sebagai manufacturer yang dia punya komponen dan dia punya ekosistem dan dia punya supply chain ini telah menyumbang hampir 72 hingga ke 82 peratus penglibatan aktiviti perniagaan komponen dalam negara kita.
Yang kita tekankan ialah mana-mana mereka yang datang ke Malaysia ini, dia mesti datang dengan niat untuk co-exist dalam negara kita. Maksud saya ialah apabila orang datang itu bawa, kalau dia nak insentif, if they want incentive, they must participate dengan membina ekosistem dalam negara, menggunakan supply chain kita. Jadi, kalau siapa-siapa yang buat macam itu, dia akan dapat insentif, tetapi insentif ini juga bergantung kepada beberapa banyak you nak dapat insentif, berapa banyak you melibatkan penglibatan syarikat-syarikat tempatan dalam aktiviti supply chain terhadap setiap komponen yang dibina.
Jadi, ada banyak syarikat-syarikat yang datang ke dalam negara kita lately. Dia datang dengan tujuan hanya nak jual kereta. Waktu dia bawa semua daripada komponen, datang ke dalam negara kita and then pasang and jual. And they expect kita nak bagi insentif, no. Kita tak boleh buat macam itu. Sebab kalau kita buat macam itu, jadi ekosistem yang telah kita bina selama 34 tahun ini akan terjejas kerana kita macam— saya ambil contoh Perodua dengan PROTON. Dia ada ekosistem, supply chain dia ada 733 companies yang duduk dalam tier one, tier two dan tier three. Kemudian the entire industry PROTON dengan Perodua ini, dia memberi peluang pekerjaan kepada hampir lebih 700,000 kakitangan.
Jadi kalau orang datang, just buat kilang, everything datang daripada luar negara, dan tidak ada strategi untuk libatkan mana-mana aktiviti-aktiviti komponen manufacturing dalam negara kita, dan dia mungkin tidak dapat insentif. Dia akan menjadi exactly like macam CBU car, where they have to pay kita punya import duty, they have to pay kita punya excise duty, and they have to pay kita punya sales tax. Itu dia punya tujuan kerajaan buat benda ini.
Saya bagi contoh Yang Berhormat, a bit panjang sikit ini very important because public use, untuk pengetahuan public. Kalau kita tengok, masa mula-mula kita bawa EV dalam negara kita, bermula pada tahun 2022, 2023, 2024, 2025, memang kita dah bagi upfront kepada semua player yang nak bawa EV ini, empat tahun kita bagi dia.
Kita tak charge import duty, kita tak charge excise duty dan kita tak charge sales tax. Sebab kita nak bagi mereka ramai datang ke sini, tengok macam mana market kita, macam mana dia boleh membangunkan EV. Malangnya, dalam masa empat tahun itu, kerajaan telah forgone tax RM3.3 billion. Selepas empat tahun, kita nak cari public charger, tidak ada investment yang dibuat oleh player, player ini untuk buat public charger. Jadi oleh kerana itu, sebab itu kerajaan melihat bahawa kita tidak akan sambung yang empat tahun itu sebab mana kita bagi dulu itu untuk empat tahun. Lepas ini kita tak sambung, dan kita ada extend lagi dua tahun, tapi dua tahun itu untuk CKD player dan kita akan habis pada 31st December 2027, yang itu dia masih terus, tapi yang lain tak ada sebab kita nak kena bina ekosistem ini termasuk public charger— very important kalau kita nak EV ini merupakan salah satu daripada jenama yang boleh co-exist dengan kita punya ICE, kereta yang biasa kita pakai ini. Terima kasih.
Datuk Wira Dr. Mohd Hatta bin Md Ramli
Soalan tambahan.
Timbalan Yang di-Pertua
Dr. Hatta, soalan Dr. Hatta nombor 3.
Datuk Wira Dr. Mohd Hatta bin Md Ramli
Tak apa, ini penting. Boleh?
Timbalan Yang di-Pertua
Baiklah, baiklah.
Datuk Wira Dr. Mohd Hatta bin Md Ramli
Terima kasih, Datuk Yang di-Pertua.
Timbalan Yang di-Pertua
Tarik nafas dulu. Lepas itu, Dato’ Leong.
Datuk Wira Dr. Mohd Hatta bin Md Ramli
Pardon?
Timbalan Yang di-Pertua
Lepas Dr. Hatta, Dato’ Leong.
Datuk Wira Dr. Mohd Hatta bin Md Ramli
Saya dulu ya?
Timbalan Yang di-Pertua
Ya, ya.
Datuk Wira Dr. Mohd Hatta bin Md Ramli
Terima kasih Datuk Yang di-Pertua.
Terima kasih Menteri.
Mengenai soalan tambahan Tan Sri tadi, Menteri menyebut bahawa tempoh 4 tahun diberikan dengan harapan syarikat-syarikat yang membawa masuk barangan mereka itu turut membangunkan ekosistem, tetapi tidak berlaku. Apakah sebab ianya tidak berlaku? Adakah mereka ini tidak diberikan penjelasan daripada awal ataupun memang mereka ingkar dan tidak berhasrat untuk tinggal lama dalam negara kita?
Datuk Seri Johari bin Abdul Ghani
Terima kasih, Yang Berhormat. Dia ada dua benda ini. Satu, mereka datang ini, dia nak test market. Yang kedua, ada juga keadaan di mana mereka memang ada excess capacity kepada negara mereka. Jadi, mereka membina entire ecosystem. Dia ada excess capacity, so, takkanlah dah ada dekat negara asal, ada excess capacity, lepas situ nak datang ke negara kita, nak buat pula lagi benda yang sama dekat sini. Jadi, sudah tentu dia melihat bahawa komponen-komponen ini merupakan salah satu daripada strategi untuk dia eksport kepada negara-negara yang mereka buka kilang.
Jadi kita punya— matlamat kita ialah untuk pastikan bahawa kalau you nak buat komponen, kita welcome, tapi kalau you nak ambil mana-mana excess komponen di negara asal untuk bawa ke negara kita, kita ada isu sebab kalau tidak, tidak ada apa- apa manfaat dalam negara kita, sebab itu kita tekankan bahawa mereka ini semua faham. Bukan tak faham, faham. Sebab itu bila datang kita bagi dia 4 tahun exemption duty ini.
Tujuan dia untuk melihat macam mana market ini ready. Bila ready, then you invest on infrastructure, cari syarikat-syarikat dalam tempatan yang kita ada ekosistem, buat. Kalau dia tidak sampai that level yang dia nak, dia kena invoke dalam bring the technology, membantu mereka, supaya dia dalam keadaan kita panggil co-exist between kita punya syarikat-syarikat dalam negara dan juga di luar negara.
Timbalan Yang di-Pertua
Okey. Dato’ Leong. Silakan Dato’.
Dato' Leong Ngah Ngah
Terima kasih, Datuk Yang di-Pertua. Kegunaan kenderaan elektrik adalah trend yang digalakkan. Masalahnya, apakah persiapan kerajaan keseluruhannya untuk menghadapi perkembangan ini?
Datuk Seri Johari bin Abdul Ghani
Terima kasih, Yang Berhormat. Saya kalau nak jawab soalan ini, EV ini, kita kena tengok dulu apa kita punya kereta yang ada dalam negara kita ini dalam bentuk ICE— Internal Combustion Engine. Kita berjaya bina ekosistem kereta ICE ini kerana kita punya stesen minyak ada 3,500 stesen, lebih kurang, plus or minus. Setiap stesen dia ada dia punya nozel nak isi minyak ini lapan ke 12 nozel. Jadi, kalau orang datang minyak, masuk, isi minyak lima minit, 10 minit done, tetapi dalam EV, you boleh charge dekat rumahlah. Kalau rumah pun bergantung. Kalau you duduk rumah teres, rumah semi-D, rumah banglo, mungkinlah you boleh buat you punya AC charger itu, you pasang, tapi kalau duduk rumah kondominium, rumah PPR ini semua, tak boleh, sebab dia tak ada.
Dia tak ada fasiliti untuk buat. Even kalau you ada AC, nak pasang dekat dia punya parking bay dalam apartmen itu pun, tak dibenarkan kerana construction kita punya tempat tinggal apartmen ini semua ini, tidak provide that as one of the conditions dalam pembangunan kita punya tempat-tempat tinggal yang bertingkat-tingkat ini, yang apartmen ini.
Sebab itu, people have to rely on public charger tetapi public charger kalau saya tengok tadi, ICE tadi, ada 3,500 stesen. Tiap-tiap stesen ada lapan ke-12. Kita ambil average katakanlah 10. Kita ada 35,000 tempat orang nak isi minyak tetapi kalau public charger untuk EV, tak ada. Kalau you pergi the entire stretch of Johor to Perlis, nak charge dekat mana?
So, jadi ini—,sebab itu kita expect dulu, bila kita panggil dia orang datang empat tahun, kita forgone kita punya tax RM3.3 bilion, you expect dia orang ini nampak ada potential, they have to build the public charger, tapi public charger kita ini baru ada 1,000 lebih, yang lebih daripada itu pun dah tak boleh hidup, fasal apa tak banyak kereta dah pakai EV ini pasal dia tahu how difficult to go for long distance, tetapi EV ini is the future car. Hybrid of EV ini pun juga future car. Yang pakai hari ini, dua. Satu, dia second car. Nombor dua, dia banyak guna untuk city driving. Long distance belum lagi. Tapi dengan the new technology ini macam hibrid ini, dia boleh pergi sampai 1,000 kilometer, maybe, tapi kalau dia pure EV ini, depends on kita punya motorised power itu sama ada berapa jauh dia boleh pergi— 600, 500, 400 but you still somewhere kena charge.
Datuk Seri Johari bin Abdul Ghani
Jadi, sebab itu public chargers ini important dan government tengah bincang ini.
Kita MITI pun tengah bincang, macam mana. Saya pergi jumpa Trade Minister di China, saya tanya dia and dia— I clarified about the issue fasal BYD dan sebagainya, EV semua. And dia beritahu saya betul, dekat China, they spent billions on the government, spent billions of dollars untuk build public chargers, tapi dia— kita nak buat — build public charger, kalau dia suruh government bayar bilion-bilion, government tak ada duit.
So, jadi kita have to come up the mechanism macam mana kita nak build ini.
Jadi, kita tengah— sedang bincang dengan MITI lah, nak tengok macam mana kita nak buat. Mungkin every EV car yang jual dekat sini ni, mungkin kita nak kenakan satu caj untuk masukkan dalam satu tabung untuk build public charger. Because kalau nak expect penjual-penjual kereta ini, dia tak buat pun.
So, jadi isu itu kita tak nak nanti bila rakyat kita beli kereta EV, dia kata EV ini bagus, tak payah isi minyak, tapi kena charge dia tak faham. Bila dah balik kat rumah PPR, dah tak boleh charge. Dekat mana nak charge? Lepas itu pergi balik— pergi dekat apartmen-apartmen yang mewah-mewah pun, ada some of the apartments tak boleh ada charger. Itu masalah dia. Itu sahaja, terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua
Terima kasih. Sekarang saya jemput Profesor Dr.
Mohammad Redzuan bin Othman.
Dato' Prof. Emeritus Dr. Mohammad Redzuan bin Othman
Terima kasih Datuk Yang di-Pertua. Soalan saya nombor 2.
2. Dato' Prof. Emeritus Dr. Mohammad Redzuan bin Othman minta Menteri Pendidikan Tinggi menyatakan, langkah pemantauan yang dilakukan oleh kementerian bagi memastikan keselamatan pelajar-pelajar universiti terjamin dan tidak berlaku eksploitasi sepanjang mereka menjalani latihan industri
Timbalan Yang di-Pertua
Menteri.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi - Tuan Adam Adli Abd Halim
Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum. Datuk Yang di-Pertua, untuk soalan yang dikemukakan oleh Yang Berhormat Senator, kita di Kementerian Pendidikan Tinggi sentiasa beri penekanan terhadap aspek keselamatan, kebajikan dan juga kesejahteraan pelajar sepanjang menjalani latihan industri melalui pematuhan kepada garis panduan latihan industri yang dikeluarkan dan dilaksanakan oleh universiti masing- masing. Jadi, untuk kita pastikan keselamatan pelajar-pelajar kita ini terjamin dan kita dapat elakkan sebarang bentuk eksploitasi, beberapa langkah pemantauan kita laksanakan, antaranya:
(i) kita siapkan dahulu pelajar tersebut dengan mewajibkan mereka mengikut taklimat dan juga Kursus Persediaan Latihan Industri sebelum ditempatkan di satu-satu organisasi. Jadi, pelajar tersebut sudah pun kita persiapkan;
(ii) kita juga melihat bagaimana taklimat ini turut merangkumi aspek- aspek keselamatan dan juga kesihatan pekerjaan (KKP), pengurusan risiko, penggunaan peralatan perlindungan diri (PPE), prosiding kecemasan, hak dan tanggungjawab pelajar, etika profesional, saluran pelaporan jika sebarang insiden perlu dilaporkan.
Jadi, di samping itu juga, universiti selain daripada kita siapkan pelajar, di peringkat universiti juga, kita ada satu pelaksanaan pemilihan serta penilaian organisasi untuk latihan industri yang bersesuaian dengan mengambil kira kesesuaian bidang pengajian tersebut, skop tugasan, persekitaran kerja serta komitmen organisasi terhadap pelaksanaan amalan keselamatan dan kesihatan pekerja. Jadi, bagi bidang berisiko tinggi, hanya organisasi yang memenuhi keperluan keselamatan dan mempunyai sistem pengurusan keselamatan yang sesuai dipilih sebagai lokasi untuk latihan industri bagi pelajar-pelajar kita.
Sepanjang tempoh latihan industri pula, pelajar ini akan sentiasa dipantau secara berterusan oleh penyelia akademik mereka dan juga penyelia industri melalui lawatan fizikal ataupun dalam talian, semakan laporan kemajuan serta komunikasi yang berkala.
Jadi, mekanisme ini membolehkan universiti sentiasa pantau perkembangan pelajar, memastikan tugasan yang diberikan selaras dengan hasil pembelajaran program serta mengambil tindakan segera sekiranya timbul sebarang isu berkait dengan keselamatan, kebajikan atau eksploitasi terhadap pelajar-pelajar ini.
Selain itu, bagi program tertentu yang melibatkan persekitaran kerja yang berisiko tinggi, pelajar turut diwajibkan mengikut kursus ataupun pensijilan keselamatan yang berkaitan ataupun pensijilan profesional lain mengikut keperluan bidang sebelum dibenarkan untuk menjalani latihan industri tersebut.
Dan sebagai langkah perlindungan tambahan pula, semua pelajar yang menjalani latihan industri turut dilindungi di bawah Skim Perlindungan Insurans Berkelompok Universiti sekiranya berlaku kemalangan atau kejadian yang tidak diingini sepanjang tempoh latihan.
Jadi, melalui pelaksanaan langkah-langkah ini, kita bersama dengan Institusi Pendidikan Tinggi kita sentiasa komited untuk pastikan bahawa latihan industri dapat kita laksanakan dengan persekitaran yang selamat, kondusif serta beretika di samping kita pastikan bahawa pelajar kita dapat memperolehi pengalaman yang diperlukan sepanjang mereka menjalani latihan industri serta mereka mendapat pelajaran yang berkualiti tanpa berlakunya sebarang bentuk eksploitasi kepada pelajar-pelajar kita.
Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua
Soalan tambahan.
Dato' Prof. Emeritus Dr. Mohammad Redzuan bin Othman
Soalan tambahan Datuk Yang di-Pertua. Sudah tentu apabila saya menanyakan soalan ini, ia menimbulkan ataupun mengaitkan dengan kemalangan yang membawa kematian yang berlaku kepada seorang pelajar universiti apabila melalui latihan industri.
Saya hargai apa yang disampaikan oleh Yang Berhormat Timbalan Menteri berkaitan dengan operasi standard, berkaitan dengan keselamatan pelajar ketika melalui latihan industri, tapi Yang di-Pertua, walaupun dengan pendekatan-pendekatan yang dilakukan ini, pada waktu ini masih terdapat rungutan berkaitan dengan pelajar- pelajar ataupun mereka yang terlibat dengan latihan industri ini daripada IPT dan juga IPTS, di mana perkara-perkara berkaitan dengan keselamatan dan juga eksploitasi masih lagi berlaku seperti saya sebutkan tadi sehingga bawa kepada kematian.
Persoalan saya Datuk Yang di-Pertua, adakah kementerian KPT melaksanakan satu tracer study secara khusus untuk menilai sejauh mana pelajar-pelajar yang mengikuti internship ataupun latihan industri ini berjaya menyelesaikan rungutan oleh pihak majikan yang sering menyuarakan rasa tidak puas hati kerana kegagalan graduan menempatkan diri mereka apabila berada dalam pekerjaan atau industri?
Kalau ada, persoalan saya, apakah langkah-langkah penambahbaikan dilakukan bagi memastikan pada masa-masa akan datang latihan industri ini benar-benar berkesan memberi impak kepada graduan? Terima kasih.
Tuan Adam Adli Abd Halim
Terima kasih Datuk Yang di-Pertua. Kita tentu sekali kesal apabila berlaku sebarang kemalangan yang melibatkan pelajar-pelajar yang mengikuti latihan industri, sebab itu kita sentiasa mantapkan terutama sekali dari sudut pemantauan dan pelaporan. Malah sebenarnya dalam mana-mana kes ataupun dalam mana-mana situasi, selain macam kita sebut tadi, kita pastikan bahawa pelajar yang melalui latihan industri ini sentiasa dilindungi oleh insurans kelompok.
Kita juga sebenarnya beri kuasa mutlak kepada IPT untuk recall atau panggil semula pelajar dalam mana-mana situasi yang memerlukan ataupun di mana yang dirasakan oleh pihak IPT dan juga pelajar melalui laporan mereka, ada risiko yang perlu dielakkan.
Namun, kita juga ambil tadi maklum terhadap soalan yang dikemukakan berkait dengan tracer. Jadi kita akan cuba penuhi soalan Yang Berhormat menerusi jawapan bertulis agar fakta itu dapat disampaikan dengan tepat. Terima kasih.
Tuan Che Alias bin Hamid
Soalan tambahan.
Timbalan Yang di-Pertua
Tuan Che Alias.
Tuan Che Alias bin Hamid
Terima kasih Datuk Yang di-Pertua. Berdasarkan maklumat pada Jun lalu, iaitu satu peristiwa tragedi yang menyayatkan hati yang telah meragut nyawa seorang pelajar latihan industri di UPM. Akibat lemas ketika menyelenggarakan tangki air— mendedahkan wujudnya risiko interim di mana pelatih dikerahkan, diarah dan juga ke ruang yang terkurung berkemungkinan tanpa latihan, kompetensi dan juga tanpa pematuhan standard keselamatan yang sewajarnya.
Soalan saya, apakah mekanisme tegas pihak kementerian bagi memastikan mana-mana syarikat penyedia latihan mematuhi Akta Keselamatan dan juga— Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 iaitu Akta 514, sebelum kelulusan penempatan pelajar diberikan dan bagaimana pematuhan, pemantauan fizikal secara berkala oleh penyelia universiti dijalankan bagi memastikan pelajar tidak diarahkan melakukan kerja-kerja berisiko tinggi di luar bidang skop yang sepatutnya? Terima kasih.
Tuan Adam Adli Abd Halim
Terima kasih Datuk Yang di-Pertua. Kalau boleh saya balik, balik kepada telah pun kita maklumkan tadi dalam situasi di mana ada program-program yang melibatkan persekitaran kerja yang berisiko tinggi.
Pelajar ini yang pertama, kita dah sebut bahawa perlu kita persiapkan dengan mewajibkan mereka mengikut pensijilan keselamatan. Erti kata lain, dalam bidang tugas tersebut, kita bukan semata-mata hantar ataupun benarkan mereka mengikut satu-satu latihan industri. Sebaliknya, sebelum mereka boleh masuk ke situ, kita persiapkan dahulu. Itu adalah satu bentuk indikasi yang kita buat.
Yang kedua macam saya maklumkan tadi juga, di universiti sebenarnya kita telah pun beri kuasa mutlak untuk IPT tarik balik sebarang penempatan.
Tuan Adam Adli Abd Halim
Andai kata terdapat laporan-laporan yang memerlukan tindakan drastik. Tapi dalam masa yang sama, saya faham kalau concern atau apakah tindakan yang lebih tegas ataupun mana-mana mekanisme yang lebih berkesan dalam kita memastikan bahawa kita boleh kuatkuasakan satu-satu peruntukan undang-undang untuk melindungi pelajar-pelajar ini.
Untuk pengetahuan, kita juga ada Dasar Latihan Industri Institusi Pengajian Tinggi ataupun— ini diterbitkan pada tahun 2010. Jadi, setiap yang terlibat dalam latihan industri sebenarnya perlu mematuhi dasar yang telah ditetapkan.
Demikian, universiti-universiti yang terlibat dalam penempatan bagi pelajar- pelajar ini harus perlu untuk memastikan mereka jalankan screen dahulu atau tapisan yang lebih ketat untuk kita lihat bagaimana satu-satu kawasan industri itu ataupun mana- mana organisasi yang kita nak hantar pelajar ini tidak pernah terlibat, tak ada kes dan juga ada reputasi yang baik dalam memastikan keselamatan.
Dan juga, pelaporan-pelaporan lepas, lampau yang kita terima itu menunjukkan bahawa apabila pelajar-pelajar ini ditempatkan di satu-satu industri, di satu-satu entiti ataupun organisasi, mereka dapat impak seperti yang diperlukan dalam mencapai objektif pengajian mereka. Dalam masa yang sama, mereka juga dilindungi sepanjang masa mereka berada di latihan industri tersebut. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua
Terima kasih. Sekarang saya jemput Datuk Wira Dr.
Mohd Hatta bin Md Ramli.
Datuk Wira Dr. Mohd Hatta bin Md Ramli
Terima kasih Datuk Yang di-Pertua.
Semalam sopan, hari ini lega; Semalam nombor lapan, hari ini nombor tiga. Mohon jawapan.
3. Datuk Wira Dr. Mohd Hatta bin Md Ramli minta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan menyatakan, apakah strategi struktural jangka sederhana dan jangka panjang Kerajaan untuk menstabilkan bekalan dan harga makanan serta menjamin keterjaminan sumber negara berikutan pergolakan di Asia Barat.
Timbalan Yang di-Pertua
Kalau bagi peluang aje, dia tambah lagi. Sila, Yang Berhormat Menteri.
Datuk Wira Dr. Mohd Hatta bin Md Ramli
Hari terakhir.
Timbalan Yang di-Pertua
[Ketawa]
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan - Datuk Chan Foong Hin
Tuan Yang di-Pertua, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sentiasa mengambil sikap proaktif dalam memantau impak pergolakan di Asia Barat terhadap rantaian bekalan makanan global dan keterjaminan makanan negara. Pelbagai strategi struktural jangka pendek, sederhana dan jangka panjang telah dilaksanakan oleh kerajaan untuk menstabilkan bekalan dan harga makanan dalam menjamin keterjaminan sumber negara berikutan pergolakan di Asia Barat.
Antaranya termasuklah bagi langkah pendek, memberikan pengecualian Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sementara bagi baja pertanian seperti rock phosphate dan magnesium sulfat bermula Januari 2026 sehingga 31 Disember 2027 bagi mengurangkan tekanan harga. Memperuntukkan Insentif Pembajakan Kepada Pesawah
(IPKP) bagi musim penanaman 2026 yang dinaikkan daripada RM160 kepada RM300 satu hektar. Kenaikan ini melibatkan tambahan dana sekitar RM40 juta yang memanfaatkan hampir 200 ribu pesawah padi.
Sebagai bantuan tambahan, kerajaan turut memperkenalkan Insentif Penuaian sebanyak RM50 untuk satu hektar semusim pada tahun lalu bagi meringankan beban kenaikan kos input. Menaikkan kadar bantuan tunai BUDI Agri-Komoditi daripada RM300 kepada RM400 sebulan mulai bulan April 2026. Inisiatif ini merupakan kali kedua bantuan tersebut telah dinaikkan susulan krisis ini dan mengekalkan pemberian subsidi diesel nelayan dengan kadar RM1.65 satu liter kepada vesel Zon A, B, C. Menerusi langkah ini, kerajaan dapat memastikan agar kapasiti tangkapan ikan dikekalkan dan kebajikan nelayan adalah dilindungi.
Bagi langkah sederhana, mengoptimumkan produktiviti aset-aset pengeluaran makanan sedia ada seperti Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM), Taman Kekal Pengeluaran Ruminan (TKPR), Zon Industri Akuakultur (ZIA), Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) dan program di bawah Pertubuhan Peladang. Dan melaksanakan program sara diri rakyat seperti Program Kebuniti, Program Kebun Dapur Isi Rumah dan menggalakkan amalan pertanian regenerative.
Bagi langkah panjang, merangka perundangan khusus seperti Rang Undang- undang (RUU) Keterjaminan Makanan Negara untuk memastikan jaminan bekalan makanan berterusan, kestabilan harga, pengurangan kebergantungan import serta akses kepada makanan yang sihat dan berkhasiat, mewujudkan mekanisme stok penimbal baja negara yang lebih mampan dan sistematik bagi menghadapi krisis masa hadapan.
Mengisytiharkan zon pengeluaran makanan negara dan dana gazet melalui kolaborasi strategik bersama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menerusi Pelan Induk Perancangan Guna Dana Kawasan Sumber Makanan Negara
(KAGUMN) dan melaksanakan penjajaran semula Program Pemerkasaan Agromakanan (PPAN) 2026 dengan meletakkan keutamaan tinggi kepada pelaksanaan projek-projek utama berimpak tinggi berbanding projek sampingan.
KPKM optimis bahawa melalui pendekatan menyeluruh serta strategi struktural yang dinamik ini, ekosistem bekalan makanan negara akan dapat— akan kekal ampuh dan berdaya tahan dalam mendepani apa jua impak krisis geopolitik di Asia Barat.
Sekian, terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua
Soalan tambahan.
Datuk Wira Dr. Mohd Hatta bin Md Ramli
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Soalan tambahan saya, saya ucap terima kasih kepada Menteri atas penjelasan dan pelbagai usaha-usaha untuk meletakkan rakyat kita selesa walaupun apa juga peperangan yang berlaku di mana-mana.
Soalan saya, bagi bahan-bahan yang kita import termasuk beras mungkin ya— adakah kita sentiasa mengekalkan satu jumlah stok penimbal yang munasabah? Begitu juga barang lain, supaya bila berlaku peperangan yang singkat ini, kita tidak terjejas dan tidak menimbulkan krisis keyakinan di kalangan rakyat kita. Terima kasih.
Datuk Chan Foong Hin
Terima kasih kepada YB Senator. Untuk menjawab soalan ini, untuk bekalan beras sehingga 30 Jun 2026 stok fizikal beras semasa negara adalah sebanyak 1,237,303 tan metrik yang merangkumi 200,000 tan metrik stok penimbal beras negara dan 1,037,303 tan metrik stok dagangan. Jumlah stok ini adalah stabil dan mencukupi bagi menampung keperluan dalam tempoh 6.19 bulan.
So, maksud dia, kita selalu memastikan beras ini sebagai makanan ruji utama, kita mengekalkan stok penimbal beras fizikal yang dikendalikan oleh BERNAS serta stok dagangan yang mampu bertahan sekurang-kurangnya enam bulan, sekiranya berlaku krisis bekalan global yang mendadak. Mekanisme ini disokong oleh subsidi kerajaan bagi mengawal harga beras putih tempatan menjadikannya penampan yang sangat stabil berbanding komoditi makanan yang lain apabila berlaku lonjakan harga di pasaran luar. Sekian, terima kasih.
Tuan Haji Hussin bin Ismail
Soalan tambahan.
Timbalan Yang di-Pertua
Haji Hussin.
Tuan Haji Hussin bin Ismail
Yang Berhormat Datuk Yang di-Pertua, isu Asia Barat ialah isu food resilience yang susah nak dikawal tapi saya nak umumkan dengan makanan ini, ini ialah soal SSR. Beras sebagai makanan ruji utama negara. SSR walaupun ia bukannya ukuran mutlak tetapi ialah ukuran kecukupan bekalan makanan produk lokal kita, kecukupan rakyat dan ketergantungan kita kepada import.
Saya melihat daripada cadangan kementerian melalui sumber Bahagian Pembangunan Industri Padi yang menyasarkan 80 persen SSR beras pada tahun 2030, tapi data yang menunjukkan tahun 2020 sehingga 2024, lima tahun kita menurun.
Keluaran SSR, SSR kita menurun sebanyak 9.2 persen. Pro pengeluaran beras kita menurun 3.3 mata. Macam mana dengan penurunan ini, saya mohon pencerahan daripada Yang Berhormat Menteri, apakah langkah-langkah strategik yang telah pun kita buat bagi menangani kemerosotan ini dan bagi mencapai sasaran SSR 80 persen yang kini berbaki empat tahun daripada 52 persen sekarang? Terima kasih.
Datuk Chan Foong Hin
Di antara langkah-langkah yang kita ambil adalah melalui Smart SBB iaitu salah satu cara untuk kolaborasi di antara private sector dan juga dengan petani. Pada masa yang sama, kita juga melaksanakan Projek Penanaman Padi Lima Musim dalam tempoh dua tahun di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) serta menaik taraf infrastruktur sistem pengairan.
Walaupun saya mengetahui bahawa SSR ini satu matlamat yang 80 peratus menjelang tahun 2030 ini, kalau kita lihat sekarang gap dia masih besar. So, kementerian kita mengambil pelbagai langkah, yang termasuk ini infrastruktur untuk pengairan dan juga program lima musim dalam tempoh lima tahun.
Ini di antara yang kita ambil dan pada masa yang sama, kita juga menjangka El Nino akan melanda Malaysia pada masa yang terdekat. So, salah satu cara yang untuk mendepani masalah ini adalah memperluaskan penggunaan varieti padi rentan kemarau. Ini yang varieti yang baharu seperti MR380, MR381 dan MR382. Kita nak melaksanakan amalan pengurusan air di ladang seperti Alternate Wetting And Drying
(AWD) dan System Of Rice Intensification (SRI). Ini di antara langkah-langkah yang kementerian telah mengambil. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua
Okey, sekarang saya jemput Senator Wu Him Ven.
Dato' Wu Him Ven
Datuk Yang di-Pertua, soalan saya nombor 4.
4. Dato' Wu Him Ven minta Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup menyatakan:
(a) berapakah jumlah kes pelanggaran hak cipta yang timbul daripada penggunaan karya yang dijana oleh kecerdasan buatan (AI); dan
(b) apakah langkah proaktif MyIPO menangani risiko hak cipta kecerdasan buatan (AI) dan isu kekosongan hak milik bagi karya janaan AI, memandangkan Akta Hak Cipta 1987 belum mempunyai peruntukan khusus untuk melindungi karya tempatan.
Timbalan Yang di-Pertua
Menteri.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup - Datuk Dr. Fuziah binti Salleh
Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh, selamat pagi, salam sejahtera. Terima kasih kepada Yang Berhormat Senator Wu yang bertanya soalan.
Tuan Yang di-Pertua, untuk makluman, sehingga kini perkembangan litigasi dan penguatkuasaan berkaitan hak cipta dan teknologi kecerdasan buatan ataupun Artificial Intelligence (AI) dengan izin, lebih banyak tertumpu di peringkat antarabangsa khususnya melibatkan isu penggunaan artikel berita, imej dan rakaman bunyi bagi tujuan latihan model AI.
Namun demikian, setakat ini tiada kes mahkamah direkodkan di Malaysia yang menjadi duluan ataupun precedent berkaitan pelanggaran hak cipta yang melibatkan penggunaan teknologi AI. Oleh itu, belum wujud sebarang prinsip perundangan yang ditetapkan oleh mahkamah tempatan berhubungan isu tersebut.
Dalam hal ini, penentuan sama ada sesuatu penggunaan AI melibatkan pelanggaran hak cipta adalah bergantung kepada fakta dan keadaan setiap kes— case- by-case basis. Bagi pelanggaran yang bersifat sivil, perkara tersebut tertakluk kepada penentuan mahkamah melalui tindakan yang difailkan oleh pemunya hak cipta.
Manakala bagi kesalahan yang bersifat jenayah, tindakan adalah tertakluk kepada kewujudan aduan atau permohonan siasatan serta pelaksanaan penguatkuasaan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Selain itu, KPDN melalui agensinya, Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) turut meneliti secara berterusan arah aliran dan perkembangan terkini landskap antarabangsa berkaitan AI dan hak cipta. Ini termasuk mengenal pasti pendekatan yang diambil oleh negara-negara seperti Jepun, Singapura, Kesatuan Eropah (EU) dan Amerika Syarikat serta perbincangan yang sedang berlangsung di peringkat World Intellectual Property Organization (WIPO) dalam memastikan kerangka perundangan negara kekal relevan dan responsif terhadap perkembangan teknologi semasa.
Berkaitan dengan Akta Hak Cipta 1987 ataupun Akta 332 yang dikawal selia oleh KPDN, akta tersebut hanya memberi perlindungan kepada karya yang memenuhi syarat kelayakan hak cipta termasuk mempunyai unsur keaslian ataupun originality yang terhasil daripada usaha kemahiran dan pertimbangan intellectual manusia. Sehubungan itu, karya yang dijana sepenuhnya secara autonomi oleh AI tanpa penglibatan atau sumbangan kreatif manusia yang signifikan tidak memberi syarat perlindungan hak cipta di bawah kerangka perundangan sedia ada.
Selaras dengan perkembangan tersebut, bagi memastikan keseimbangan antara perlindungan hak pemunya, hak cipta dan pembangunan ekosistem AI negara, perhatian KPDN tertumpu kepada keperluan penyesuaian kerangka perundangan sedia ada merangkumi aspek-aspek berikut:
(i) pemilikan karya janaan AI;
(ii) penggunaan karya berhak cipta bagi tujuan latihan model AI;
(iii) ketelusan penggunaan data latihan; serta
(iv) mekanisme yang bersesuaian.
Usaha ini diterjemah melalui pelaksanaan siri libat urus bersama pelbagai pemegang taruh bagi memastikan sebarang pendekatan dasar atau perundangan yang dipertimbangkan kelak bersifat seimbang, praktikal dan selaras dengan kepentingan pembangunan ekonomi negara, di samping mengekalkan keseimbangan antara galakan kepada inovasi teknologi, pelindungan hak pemunya hak cipta serta kemampanan ekosistem industri kreatif tempatan. Terima kasih Datuk Yang di-Pertua.
Timbalan Yang di-Pertua
Terima kasih. Soalan tambahan.
Dato' Wu Him Ven
Terima kasih Datuk Yang di-Pertua. Soalan tambahan saya ialah, adakah kerajaan berpendirian bahawa penggunaan karya berhak cipta untuk melatih model AI perlu mendapat kebenaran terlebih dahulu daripada pemilik hak cipta?
Adakah kerajaan akan bercadang mekanisme pelesenan dan pembayaran royalti berkenaan bagi memastikan pencipta tempatan menerima pampasan yang sewajarnya?
Datuk Dr. Fuziah binti Salleh
Terima kasih di atas soalan tambahan. Ada dua bahagian, Datuk Yang di-Pertua.
Yang pertama berkenaan dengan kebenaran mengguna untuk— dan persetujuan. Jadi, mana-mana karya perlu ada persetujuan daripada pemilik hak cipta.
Tak kiralah sama ada dia dalam bentuk AI atau tidak. Jadi, tak kisah sama ada dalam bentuk AI atau tidak.
Jadi, perkara yang kedua berkenaan dengan pembayaran, mekanisme pelesenan dan pembayaran royalti. Dalam seksyen 27, Akta Hak Cipta, dia mengikat kedua-dua pihak.
Yang pertama, mekanisme pembayaran ditentukan oleh kedua-dua pihak melalui persetujuan yang diterjemahkan melalui pelesenan dan atau penyerahhakan ataupun assignment yang dinyatakan di bawah peruntukan tersebut atau melalui saluran organisasi pengurusan kolektif ataupun collective management organisation yang bertindak bagi pihak pemunya.
Jadi, ada dua-dua pihak ini mesti runding dan pencipta atau pelaku karya hak cipta sekiranya— dia ada yang bertindak bagi pihak pemunya, pencipta atau pelaku karya hak cipta. Sekiranya sesuatu bentuk penggunaan itu berbentuk kolektif atau pukal seperti karya muzik, filem dan rakaman bunyi, maksudnya ada dua pihak perlu runding sama ada secara kolektif bagi pihak semua-semua ini. Kalau dia-nya berbentuk kolektif ataupun dia mewakili secara pukal. Jadi, perlu ada persefahamanlah di bawah seksyen 27 ini, mengikut seksyen 27 untuk come to an agreement, dengan izin, Datuk Yang di- Pertua. Okey, terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua
Dr. Wan Martina.
Dr. Hajah Wan Martina binti Wan Yusoff
Terima kasih Datuk Yang di-Pertua.
Soalan saya, bagaimanakah kerajaan memastikan AI tidak menjejaskan peluang pekerjaan rakyat Malaysia khususnya di dalam industri kreatif? Apakah kerajaan telah melaksanakan kajian impak mengenai kesan karya janaan AI yang tidak dilindungi hak cipta ini terhadap mata pencarian pencipta kandungan, jurugambar, illustrator dan penulis tempatan terutamanya apabila karya AI murah ini membanjiri pasaran dan menjejaskan permintaan terhadap karya asli manusia? Terima kasih.
Datuk Dr. Fuziah binti Salleh
Terima kasih di atas soalan tambahan ini. Datuk Yang di-Pertua, sekarang ini memang tidak— terbitan karya AI ini tidak diberi perlindungan hak cipta Yang Berhormat. Tak ada negara di dunia yang memberi perlindungan hak cipta, karya AI ini. Kalau sekiranya ada permohonan daripada okey, yang nak buat model latihan AI ini bolehlah memohon.
Akan tetapi, berkenaan dengan impak ini, belum dikaji kerana memang kita sedang mengadakan libat urus dan melihat kepada beberapa elemen-elemen yang saya sebut tadi. Bagaimana model-model di negara lain, dilakukan di negara lain supaya kita betul-betul dapat memahami bagaimana impaknya. Sebab kesan AI ini begitu— apa orang kata, bergerak begitu pantas.
Kalau kita tengok ucapan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri pun dibuat, dijanakan melalui AI. Jadi, belum ada kajian impaknya, tapi libat urus itu berterusan dan sedang dikaji bagaimana model-model negara lain melakukannya. Terima kasih Datuk Yang di-Pertua.
Timbalan Yang di-Pertua
Baik, terima kasih. Sekarang saya jemput Senator Tuan Shahrol Wizan bin Sulung.
Tuan Shahrol Wizan bin Sulong
Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih Datuk Yang di-Pertua, soalan saya nombor 5.
5. Tuan Shahrol Wizan bin Sulong minta Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menyatakan, apakah langkah segera, sederhana dan jangka panjang yang telah dan akan dilaksanakan kerajaan bagi memastikan setiap komuniti orang asli mendapat akses kepada bekalan air bersih yang selamat, berterusan dan berkualiti.
Timbalan Yang di-Pertua
Menteri.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah - Datuk Hajah Rubiah binti Wang
Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih Datuk Yang di-Pertua. Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah melalui Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dengan kerjasama kementerian, pihak berkuasa air negeri serta agensi teknikal berkaitan, sentiasa berusaha memastikan masyarakat orang asli mendapat akses kepada bekalan air yang selamat berterusan dan juga berkualiti.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah - Datuk Hajah Rubiah binti Wang
Untuk makluman Yang Berhormat, terdapat sejumlah 853 perkampungan orang asli di seluruh Semenanjung Malaysia. Sebanyak 729 kampung orang asli telah menikmati bekalan air bersih. Sepanjang RMK12, 2021 hingga 2025, sebanyak RM31.67 juta telah dibelanjakan untuk melaksanakan 258 projek sistem rawatan air di perkampungan orang asli.
Sebagai langkah segera, tindakan pemulihan bekalan air dilaksanakan secara turun padang melalui pemantauan lapangan bagi mengenal pasti punca gangguan, melaksanakan kerja pembaikan kritikal terhadap komponen yang sedia ada serta— seperti pam, paip dan tangki serta menyelaras bantuan bekalan air alternatif bersama dengan pihak berkuasa air negeri ke kawasan yang terjejas.
Bagi langkah jangka masa sederhana pula, JAKOA menyediakan peruntukan penyelenggaraan sistem rawatan air sebagai langkah pencegahan dan sebagai medium untuk memastikan sistem air sedia ada berada dalam keadaan yang baik dan keperluan untuk naik taraf sekiranya perlu.
Sehingga kini, terdapat 60 kontrak yang sedang berkuat kuasa dengan peruntukan berjumlah RM10 juta setahun. JAKOA akan terus komited melaksanakan pemantauan dan penambahbaikan secara berterusan bagi memastikan masyarakat orang asli mendapat akses air bersih dan selamat.
Bagi langkah jangka masa panjang, bagi baki 124 kampung orang asli yang masih belum menerima bekalan air, kementerian melalui JAKOA akan meneruskan pelaksanaan projek bekalan air secara berfasa. Di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas bagi Rolling 1 Tahun 2026, peruntukan yang telah kita terima adalah RM3 juta yang akan melibatkan 22 projek, meliputi kerja-kerja menaik taraf sistem, penambahbaikan sistem perpaipan dan juga menyiapkan telaga tiub.
Komitmen berterusan bagi mengenal pasti baki perkampungan yang belum mendapat akses akan terus dirancang dan diselesaikan secara tuntas. Terima kasih, Datuk Yang di-Pertua.
Timbalan Yang di-Pertua
Soalan tambahan.
Tuan Shahrol Wizan bin Sulong
Terima kasih, Tuan Yang di-Pertua. Terima kasih, Timbalan Menteri. Saya tidak menafikan bahawa kementerian sentiasa komitmen dalam melaksanakan projek kesejahteraan masyarakat orang asli. Namun, sebenarnya kita tidak juga dapat menafikan bahawa terdapat lagi kampung-kampung orang asli walaupun di pinggir bandar yang juga mengalami masalah tekanan air.
Soalan saya ialah adakah kementerian bercadang melaksanakan projek rintis bagi melihat keberkesanan penggunaan teknologi Atmospheric Water Generator (AWG) dengan kerjasama industri yang berkaitan bagi menilai potensi teknologi ini sebagai salah satu penyelesaian jangka panjang dalam memastikan komuniti orang asli menikmati bekalan air bersih yang selamat, berkualiti dan berterusan. Terima kasih.
Datuk Hajah Rubiah binti Wang
Terima kasih, YB. Senator atas soalan tambahan. Kementerian Kemajuan Desa melalui JAKOA— kita seperti yang saya maklumkan tadi, kita komited untuk mencari cara dan kaedah yang berkesan, bagaimana kita nak memberi akses bekalan air bersih kepada perkampungan orang asli terutamanya kawasan yang jauh ke pedalaman atau sukar dicapai melalui sistem perpaipan konvensional.
Pada masa ini, untuk makluman Yang Berhormat, penyediaan bekalan air dilaksanakan berdasarkan kesesuaian lokasi dan hasil penilaian teknikal. Antaranya kawasan liputan utiliti syarikat air dan juga sumber air negeri yang dibekalkan oleh syarikat operator air. Manakala, bagi kawasan yang jauh liputannya, kementerian melalui JAKOA melaksanakan pembinaan telaga tiub dan sistem tandak lengkap dengan sistem rawatan air sebagai bekalan air alternatif kepada kumpulan sasar.
Berhubung dengan cadangan penggunaan teknologi hijau dan inovasi moden seperti atmospheric water generator (AWG), kementerian mengambil maklum potensi teknologi tersebut seperti satu alternatif bagi kawasan menghadapi kekangan sumber air. Walau bagaimanapun, penggunaan teknologi baharu ini perlu melalui proses penilaian teknikal terlebih dahulu yang secara menyeluruh dari sudut aspek kesesuaian lokasi, kapasiti pengeluaran air, keperluan tenaga, kos pelaksanaan dan kos operasi dan penyelenggaraan dan keberkesanan jangka masa panjang.
Untuk makluman Yang Berhormat, teknologi ini pernah dibawa di Sabah dan juga di Sarawak. Namun, ketidaksesuaiannya— orang kata ketidaksesuaiannya mengikut lokaliti. Sebab itu kajian menyeluruh perlu dilaksanakan. Namun, ia satu cadangan yang baik, yang kita boleh ambil perhatian. Terima kasih, Datuk Yang di-Pertua.
Timbalan Yang di-Pertua
Sekarang saya jemput Senator Tuan Haji Abdul Nasir bin Idris.
Tuan Haji Abdul Nasir bin Haji Idris
Datuk Yang di-Pertua, hari ini hari akhir bersidang. Datuk Yang di-Pertua, soalan 6 perlukan jawapan.
6. Tuan Haji Abdul Nasir bin Haji Idris minta Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menyatakan, sejauh manakah tahap pematuhan agensi terhadap Garis Panduan Pengendalian Kes Keganasan Rumah Tangga termasuk aspek pemeriksaan tempat perlindungan mangsa.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat - Puan Lim Hui Ying
Terima kasih Datuk Yang di-Pertua. Terima kasih kepada Yang Berhormat Senator. Pengurusan kes keganasan rumah tangga atau KRT dilaksanakan melalui penyelarasan tindakan bersama agensi berkaitan mengikut bidang kuasa masing-masing.
Bagi penyelarasan yang lebih jelas, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat melalui JPM— JPW, maaf. Melalui Jabatan Pembangunan Wanita telah membangunkan garis panduan pengendalian kes keganasan rumah tangga pada tahun 2015 sebagai rujukan utama bagi memastikan mangsa menerima perlindungan dan perkhidmatan sokongan yang berkesan.
Bagi meningkatkan keberkesanan pengurusan kes di bawah Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 atau Akta 521, garis panduan ini telah dikemas kini pada tahun 2023. Garis panduan baharu ini memperincikan peranan dan tanggungjawab setiap agensi kerajaan yang terlibat, termasuk prosedur permohonan perintah perlindungan, bantuan rawatan, penyediaan perkhidmatan perlindungan di tempat selamat dan tempat berlindung serta bantuan sokongan yang lain.
Melalui garis panduan ini, pengurusan kes dapat dilaksanakan secara sistematik, bersepadu dan berkesan. Pemantauan pelaksanaan perkhidmatan setiap agensi atau tahap pematuhan terhadap garis panduan tersebut dipantau secara berkala melalui platform Jawatankuasa Menangani Keganasan Rumah Tangga atau JKRT yang turut disokong oleh Jawatankuasa Kerja Perlindungan KRT.
Pemantauan dilaksanakan melalui pelaporan berkala oleh agensi barisan hadapan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan (KKM), Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Peguam Negara (AGC) serta penelitian kes khusus secara case-by-case basis. KPWKM melalui JKM turut menyediakan pelbagai perkhidmatan perlindungan dan sokongan kepada mangsa KRT termasuk perintah perlindungan kecemasan atau dengan izin, emergency protection order dalam tempoh dua jam bagi kes yang memerlukan perlindungan segera. Selain itu, JKM juga telah membantu kes yang memerlukan bantuan bagi mendapatkan perintah perlindungan interim dengan izin, interim protection order dan perintah perlindungan atau protection order, dengan izin, daripada mahkamah.
Tempat selamat bagi mangsa KRT disediakan di seluruh negara melalui kelulusan oleh Menteri yang dikendalikan oleh kerajaan dan NGO atau pertubuhan bukan kerajaan. Kemudahan perlindungan di tempat selamat selenggaraan kerajaan di bawah JKM ini dipastikan berada dalam keadaan yang selamat melalui pemantauan serta kerja-kerja penyelenggaraan, pembaikan premis dan penggantian aset dilaksanakan mengikut keperluan.
Pada tahun 2026, KPWKM telah diperuntukkan sebanyak RM2.1 juta untuk kerja-kerja menaik taraf lebih 20 tempat selamat kendalian kerajaan bagi memastikan premis ini berada dalam keadaan kondusif, berfungsi dengan baik dan bersedia menerima mangsa KRT yang memerlukan perlindungan sementara.
KPWKM akan terus memperkukuh perlindungan kepada mangsa KRT melalui mekanisme penyelarasan sedia ada, serta memastikan tempat selamat sentiasa memenuhi keperluan perlindungan, keselamatan dan kebajikan mangsa KRT. Sekian, terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua
Soalan tambahan, Haji Nasir.
Tuan Haji Abdul Nasir bin Haji Idris
Datuk Yang di-Pertua, terima kasih Yang Berhormat Timbalan Menteri. Soalan tambahan saya berkaitan dengan tempat perlindungan mangsa tadi, berapakah jumlah pemeriksaan dari segi pematuhan yang telah dilaksanakan oleh pihak kementerian terhadap semua tempat perlindungan yang berdaftar sepanjang tahun 2025, mungkin sehingga Jun 2026?
Dan berapakah yang didapati tidak patuh, tidak kepatuhan dari segi keselamatan? Dari segi keselamatan, dari segi kapasiti, privasi, tempoh perkhidmatan dan kualiti perkhidmatan? Dan apakah tindakan susulan yang telah diambil terhadap ketidakpatuhan tadi? Terima kasih.
Puan Lim Hui Ying
Terima kasih, Datuk Yang di-Pertua. Terima kasih kepada Yang Berhormat Senator. Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 [Akta 521] telah memperuntukkan tafsiran tempat selamat iaitu mana-mana rumah atau institusi yang disenggarakan atau diuruskan oleh kementerian atau jabatan yang bertanggungjawab bagi perkhidmatan kebajikan atau oleh mana-mana agensi lain atau organisasi sukarela yang diluluskan oleh Menteri.
Selain daripada itu, ada satu lagi tafsiran tempat berlindung. Yang ini tempat berlindung, ertinya mengikut akta adalah mana-mana rumah atau institusi atau mana- mana tempat lain yang sesuai, yang penghuni atau pemilik atau pemunya rumah bersedia untuk menerima mangsa buat sementara waktu. Mengikut rekod JKM, sehingga Julai 2026 kita ada sebanyak 43 buah tempat selamat yang diluluskan di bawah Akta 521. Daripada jumlah ini, sebanyak 39 buah merupakan premis atau institusi yang disenggarakan oleh kerajaan dan empat lagi tempat selamat dikendalikan oleh NGO.
Bagi tujuan pemeriksaan pematuhan terhadap semua tempat perlindungan, terdapat dua mekanisme. Pemantauan yang dilaksanakan iaitu melalui penyelaras penguat kuasa di peringkat negeri yang melaksanakan pemeriksaan dan pemantauan secara tahunan ke atas institusi JKM yang diluluskan sebagai tempat selamat.
Juga, mekanisme kedua pula adalah melalui pegawai bertanggungjawab di Bahagian Perundangan dan Penguatkuasaan JKM yang turut melaksanakan pemantauan susulan ke premis tempat selamat selenggaraan JKM secara rawak bagi memastikan ketersediaan tempat selamat tersebut menempatkan mangsa KRT secara sementara.
Bagi memastikan aspek kepatuhan dari segi keselamatan, kapasiti, privasi, tempat tinggal dan prosedur perkhidmatan, satu prosedur operasi standard pengurusan tempat selamat di bawah Akta 521 telah dikuatkuasakan mulai Julai 2024 melalui satu pekeliling pada tahun 2024. Sekian, terima kasih.
Tuan Azahar bin Hassan
Soalan tambahan.
Puan Lim Hui Ying
Saya juga ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat maju jaya kepada Yang Berhormat Senator. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua
Mohon yang terakhir, ini hari.
Tuan Azahar bin Hassan
Boleh?
Timbalan Yang di-Pertua
Tak, YB. Tiew— YB. Tiew bangun tadi.
Tuan Azahar bin Hassan
Terima kasih.
Puan Tiew Way Keng
Terima kasih, Datuk Yang di-Pertua.
Timbalan Yang di-Pertua
[Ketawa]
Tuan Azahar bin Hassan
Sipi.
Puan Tiew Way Keng
Terima kasih, Datuk Yang di-Pertua. Saya ingin minta penjelasan daripada kementerian Timbalan Menteri, berkenaan dengan kes-kes yang berulang kali. Kes keganasan rumah tangga yang berulang sejak kebelakangan ini amat membimbangkan apabila terdapat mangsa yang terus menjadi sasaran walaupun kejadian telah dilaporkan dan tindakan guaman telah diambil. Keadaan ini menunjukkan bahawa selain daripada penguatkuasaan undang-undang, langkah penjagaan dan pemantauan yang lebih berkesan perlu diperkukuhkan lagi bagi mengelakkan pesalah mengulangi perbuatan yang sama.
Kita nampak apabila kes dibawa ke mahkamah, kebarangkalian yang si tertuduh hanya dikenakan denda sahaja. Jadi, apabila si tertuduh dia membayar keluar, lepas itu mangsa akan dikenakan, kita katakan dipukul ataupun dikenakan tindakan daripada kita katakan orang yang telah melakukan keganasan terhadap dia.
Jadi, apakah rancangan kerajaan untuk mencegah kejadian keganasan rumah tangga ini berulang kali berlaku? Sekian, terima kasih.
Puan Lim Hui Ying
Terima kasih, Datuk Yang di-Pertua. Terima kasih kepada Yang Berhormat Senator yang juga merupakan seorang peguam yang banyak mengendali kes sebegini.
Jadi, KPWKM komited dalam menangani isu KRT melalui pendekatan menyeluruh yang melibatkan seluruh kerajaan dan masyarakat iaitu dengan izin, whole- of-government and whole-of-society approach. Pendekatan ini memberi penekanan kepada pencegahan, perlindungan, intervensi dan pemulihan bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan mangsa sentiasa terpelihara.
Bagi memperkukuhkan pengurusan, ini actually is berkenaan dengan pengurusan, pengurusan kes KRT. Mesyuarat penyelarasan kes KRT telah diadakan pada April 2026. Antara perkara yang dibincangkan adalah seperti yang disebutkan tadi adalah cadangan untuk mewujudkan daftar pesalah keganasan rumah tangga bagi merekodkan pesalah keganasan rumah tangga berulang.
Sehubungan ini, tindakan susulan untuk meneliti lanjut cadangan ini sedang diambil bersama oleh KPWKM, oleh PDRM dan mahkamah untuk membangunkan satu mekanisme yang bersesuaian untuk merekod dan memantau pelaku keganasan rumah tangga berulang melalui rekod jenayah atau daftar kesalahan yang berkaitan. Sebab pada masa ini kita tidak ada data yang tepat.
Selain itu, Jawatankuasa Keganasan Rumah Tangga akan terus berperanan sebagai platform penyelarasan pemantauan dan perbincangan antara semua kementerian, jabatan dan agensi yang berkaitan untuk memastikan keberkesanan pelaksanaan dasar, program dan inisiatif berkaitan keganasan rumah. Jadi, kita akan terus meneliti dan memperkukuhkan prosedur serta penyampaian perkhidmatan berkaitan dari semasa ke semasa memastikan saluran, aduan dan juga sistem perlindungan mangsa KRT kekal responsif, berkesan dan selaras dengan keperluan serta cabaran semasa. Sekian, terima kasih.
Tuan Azahar bin Hassan
Boleh tambah satu?
Timbalan Yang di-Pertua
Tak, saya nak cepatkan sikit. Tak dibenarkan lah.
Puan Norhasmimi binti Abdul Ghani.
Puan Hajah Norhasmimi binti Abdul Ghani
Terima kasih, Datuk Yang di- Pertua. Soalan saya soalan nombor 7.
Timbalan Yang di-Pertua
Menteri.
7. Puan Norhasmimi binti Abdul Ghani minta Menteri Sumber Manusia menyatakan, apakah data kerajaan mengenai jumlah wanita yang terlibat dalam ekonomi gig, dan sejauh manakah dasar sedia ada mengambil kira keperluan mereka untuk mendapatkan perlindungan sosial termasuk perlindungan materniti, keselamatan pekerjaan dan caruman persaraan.
Timbalan Menteri Sumber Manusia - Datuk Khairul Firdaus bin Akbar Khan
Tuan Yang di-Pertua, berdasarkan statistik Pertubuhan Keselamatan Sosial
(PERKESO), setakat 30 Jun 2026, jumlah pekerja gig di seluruh negara yang berdaftar dan dilindungi di bawah Skim Lindung Kendiri adalah seramai 1.11 juta orang— 1,113,017. Daripada jumlah tersebut, seramai 129,102 pekerja gig adalah dalam kalangan wanita. Skim ini merupakan perlindungan kepada mereka daripada bencana pekerjaan sendiri, termasuk penyakit pekerjaan dan kemalangan perjalanan sewaktu menjalankan aktiviti pekerjaan sendiri.
Skim Lindung Kendiri PERKESO merupakan dasar perlindungan sosial yang menyediakan manfaat seperti faedah perubatan, faedah hilang upaya sementara, faedah hilang upaya kekal, elaun layanan sentiasa, kemudahan pemulihan jasmani vokasional, faedah orang tanggungan, faedah pengurusan mayat dan faedah pinjaman pendidikan. Dalam tempoh Januari sehingga 30 Jun 2026, bilangan penerima faedah di bawah Lindung Kendiri, termasuk pekerja gig adalah seramai 4,507 orang bekerja sendiri melibatkan bayaran faedah berjumlah RM15.19 juta.
Selain itu, PERKESO juga menyediakan perlindungan keselamatan sosial, khusus kepada golongan wanita iaitu Skim Lindung Kasih yang melindungi wanita daripada bencana domestik dan keilatan semasa menguruskan rumah tangga. Kadar caruman yang perlu dicarum adalah berjumlah RM120 setahun. Dari tempoh Januari sehingga 30 Jun 2026, seramai 48,180 orang wanita telah mencarum di bawah Skim Lindung Kasih di seluruh negara.
Dalam tempoh yang sama, bayaran faedah yang telah dibayar adalah berjumlah RM2.55 juta ataupun RM2,552,221 melibatkan 3,358 orang wanita. Faedah yang dibayar adalah termasuk faedah hilang upaya kekal, faedah pengurusan mayat, elaun layanan sentiasa, elaun keuzuran, pencen penakat, pemulihan jasmani dan rawatan dialisis.
Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) tidak pernah berkompromi dalam soal kebajikan pekerja.
Timbalan Menteri Sumber Manusia - Datuk Khairul Firdaus bin Akbar Khan
PERKESO sentiasa bersifat proaktif bagi memastikan sistem perlindungan sosial negara bergerak seiring dengan perkembangan landskap pasaran buruh yang semakin dinamik. Melalui langkah-langkah strategik yang dirangka, KESUMA melalui PERKESO bukan sahaja mahu meningkatkan tahap kecukupan manfaat yang diterima oleh para pencarum, malah apa yang lebih utama ialah memperkukuh dan menambah baik dasar yang sedia ada. Ini adalah komitmen kerajaan bagi memastikan kelestarian dana kekal utuh dan mampan demi mendepani cabaran perlindungan sosial masa hadapan. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua
Soalan tambahan.
Puan Hajah Norhasmimi binti Abdul Ghani
Terima kasih Yang Berhormat Timbalan Menteri. Yang Berhormat Timbalan Menteri, memandangkan sebahagian wanita memilih ekonomi gig sebagai kerjaya kerana fleksibiliti masa untuk menguruskan keluarga.
Soalan saya, adakah kerajaan bercadang mewujudkan satu garis panduan atau peraturan khusus bagi melindungi pekerja gig wanita daripada risiko gangguan seksual, keganasan dan isu keselamatan ketika bekerja terutama bagi penghantar dan juga pemandu e-hailing? Terima kasih.
Datuk Khairul Firdaus bin Akbar Khan
Terima kasih Yang Berhormat Senator.
Memang ada asas di atas persoalan yang dibangkitkan tadi. Setakat ini, kita akan menggunakan garis panduan Akta Pekerja Gig 2025 [Akta 872]. Di bawah Bahagian IX menyediakan peruntukan bagi melindungi pekerja gig dari sudut keselamatan pekerjaan.
Di bawah bahagian tersebut, Ketua Pengarah Keselamatan Pekerjaan (KPKP) diberi kuasa untuk mengawal selia pematuhan kewajipan oleh entiti kontrak dan pekerja gig berhubung dengan keselamatan dan kesihatan pekerjaan seseorang pekerja gig.
Bagi gangguan seksual, rang undang-undang baru-baru ini ada diluluskan iaitu Tribunal Akta Gangguan Seksual. Akta itu pun boleh diguna pakai bersama dengan akta yang saya sebutkan tadi. Ini akan memberikan satu perlindungan walaupun kita belum lagi menerima sebarang kes berkenaan perkara yang dibangkitkan tadi.
Kalau ada perkara-perkara yang melibatkan perkara yang dibangkitkan tadi, kita akan maklumkan juga kepada Yang Berhormat Senator supaya Yang Berhormat Senator juga memahami apakah sebenarnya prosedur-prosedur yang kita telah lakukan ataupun yang kita telah rancangkan. Sekian, terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua
Soalan tambahan tak ada. Jadi, saya terus kepada menjemput Datuk Wong You Fong.
Datuk Wong You Fong
Yang Berhormat Datuk Yang di-Pertua, nombor— soalan saya adalah nombor 8.
8. Datuk Wong You Fong minta Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan menyatakan, usaha kementerian bagi memberikan imbuhan tambahan atau mengawal isu harga sewa tinggi sama ada rumah mahupun bilik memandangkan rakyat masih bergelut terutamanya keluarga muda dengan pendapatan yang tidak mencukupi untuk tinggal di kawasan bandar.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan - Datuk Hajah Aiman Athirah binti Sabu
Bismillahirrahmanirrahim. *Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
[Membaca selawat]* Tuan Yang di-Pertua, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan prinsip, “Leave No One Behind”, kerajaan komited memastikan setiap rakyat mempunyai akses kepada kediaman yang selamat, berkualiti, berdaya huni dan mampu didiami, sama ada melalui pemilikan rumah mahupun penyewaan.
Untuk makluman Dewan yang mulia ini, kerajaan memahami bahawa peningkatan kadar sewa rumah dan bilik di kawasan bandar memberikan tekanan kepada rakyat, khususnya kepada golongan muda dan keluarga yang baru memulakan kehidupan. Peningkatan kadar sewa ini dipengaruhi oleh beberapa faktor sepertimana peningkatan kos pembangunan dan penyelenggaraan, pertumbuhan permintaan di kawasan bandar serta kekangan penawaran kediaman pada kadar sewa yang mampu dibayar.
Sehubungan dengan itu, pendekatan kerajaan bukanlah menetapkan kawalan harga sewaan secara menyeluruh kerana pasaran sewaan dipengaruhi oleh pelbagai faktor ekonomi dan keadaan setempat. Sebaliknya, kerajaan mengambil pendekatan yang lebih menyeluruh dengan memperbanyakkan penyediaan rumah sewa yang mampu didiami disewa, memperkukuhkan perlindungan kepada penyewa serta meningkatkan peluang pemilikan rumah agar kebergantungan kepada pasaran sewaan dapat dikurangkan dalam jangka masa panjang.
Bagi tujuan tersebut, kementerian sedang melaksanakan beberapa inisiatif.
Antaranya pertama, skim sewaan untuk dibeli, Rent-to-Own dan bagi Program Residensi Rakyat (PRR) yang memberi peluang kepada penyewa memiliki rumah secara berperingkat tanpa perlu menyediakan bayaran pendahuluan. Dan skim ini kini dilaksanakan di tujuh buah negeri iaitu Kedah, Kelantan, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Selangor, Terengganu dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Kedua, Pembangunan Rumah Belia MADANI yang merupakan usaha kerajaan menyediakan perumahan secara transit atau sewaan kepada golongan belia yang layak, khususnya yang baru membina kehidupan di bandar-bandar besar sepertimana Kuala Lumpur.
Rumah Belia MADANI ini akan ditawarkan secara transit sewaan kepada golongan belia yang layak menduduki untuk satu tempoh yang ditetapkan. Namun begitu, kerajaan masih dalam peringkat penetapan mekanisme yang terbaik dalam menentukan syarat kelayakan sewaan tersebut bagi memastikan unit rumah ini diduduki oleh kumpulan sasar yang benar-benar layak dan memerlukan.
Ketiganya Tuan Yang di-Pertua, Perumahan Inklusif MADANI (PIM) yang menyediakan rumah mampu milik, rumah RMM dengan pelbagai saiz dan reka bentuk untuk keperluan golongan muda, keluarga baru, warga emas, orang kurang upaya dan isu rumah berpendapatan rendah. Projek rintis ini akan dimulakan di Johor sebelum diperluaskan ke seluruh negara.
Selain daripada itu Tuan Yang di-Pertua, terdapat juga agensi-agensi penyedia perumahan di peringkat kerajaan yang turut menyediakan perumahan mampu milik di kawasan bandar, termasuklah di sekitar Lembah Klang. Antaranya Jabatan Wilayah Persekutuan yang menyediakan rumah mampu milik melalui Program Residensi MADANI dan Residensi Wilayah. Dan kerajaan negeri juga turut menyediakan— memainkan pelbagai peranan dalam penyediaan program perumahan mampu milik di setiap negeri masing-masing. Antaranya adalah Program Rumah Selangorku dan Smart Sewa di peringkat Kerajaan Negeri Selangor.
Tuan Yang di-Pertua, bagi memperkukuhkan perlindungan kepada penyewa dan mewujudkan peranan sewaan yang lebih adil, kementerian juga sedang memuktamadkan Rang Undang-undang Penyewaan Kediaman ataupun Residential Tenancy Act, yang mana cadangan ini adalah bertujuan untuk menjadi— mewujudkan hubungan yang lebih seimbang di antara penyewa dan juga pemilik rumah melalui penyediaan hak dan tanggungjawab yang lebih jelas kepada kedua-dua pihak.
Di samping, kita memperkenalkan mekanisme penyelesaian pertikaian yang lebih cepat, mudah dan berkos rendah. Pada masa yang sama, kerajaan juga terus memperluaskan akses kepada penyediaan pembiayaan perumahan bagi membantu rakyat beralih kepada penyewaan kepada pemilikan rumah sendiri. Melalui pertamanya, Skim Jaminan Kredit Perumahan yang akan memberi jaminan pembiayaan sehingga RM500,000 kepada pembeli rumah pertama, termasuklah golongan ekonomi gig yang tidak mempunyai pendapatan tetap.
Dan sehingga 30 April 2026, sejumlah RM27.4 bilion jaminan pembiayaan yang telah pun diluluskan melibatkan 113,222 permohonan dengan 51 peratus daripada penerima ataupun yang telah pun diluluskan ini adalah mereka yang berusia 30 tahun ke bawah. Kerajaan juga turut menambah siling jaminan sebanyak RM10 bilion lagi dan menjadikan jumlah keseluruhan jaminan SJKP kini adalah RM40 bilion.
Yang keduanya adalah step-up financing iaitu satu skim pembiayaan dengan ansuran meningkat secara berperingkat mengikut peningkatan pendapatan peminjam, sekali gus membantu golongan muda sebenarnya untuk memiliki rumah pada peringkat yang lebih awal.
Dan ketiganya, adalah pelepasan cukai individu ke atas bayaran faedah pinjaman perumahan bagi tahun taksiran 2025 sehingga tahun 2027 sebagai insentif tambahan kepada pembeli rumah pertama. Insya-Allah sebagai rumusannya Tuan Yang di-Pertua, kerajaan akan terus memperkukuhkan ekosistem perumahan melalui penyediaan lebih banyak rumah mampu milik ataupun rumah mampu sewa dan memperkukuhkan perlindungan kepada penyewa iaitu dengan mewujudkan Akta Sewaan Kediaman yang sedang pun dimuktamadkan.
Dan yang ketiganya, seperti yang saya sebutkan tadi adalah peluasan akses kepada pembiayaan rumah. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Timbalan Yang di-Pertua
Terima kasih. Soalan tambahan, Datuk Wong.
Datuk Wong You Fong
Soalan tambahan. Terima kasih Yang Berhormat Timbalan Menteri. Soalan tambahan saya, statistik menunjukkan semakin ramai golongan muda terpaksa menyewa untuk tempoh yang agak panjang kerana tidak mampu memiliki rumah. Apakah langkah konkrit kerajaan dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang bagi memastikan kos sewaan kekal mampu milik selain hanya menambah bekalan rumah mampu milik?
Datuk Hajah Aiman Athirah binti Sabu
Tuan Yang di-Pertua, sepertimana yang saya sebutkan tadi bahawa faktor yang menentukan kepada sewaan ini, sewaan rumah ini adalah pelbagai. Dan juga saya pun sebenarnya telah menyebutkan tadi apa inisiatif-inisiatif kerajaan. Daripada keseluruhannya, memang kita akan terus memastikan ekosistem perumahan itu dapat diperkukuhkan sepertimana yang saya sebutkan tentang penyediaan satu rang undang-undang yang boleh membantu keadilan diberikan kepada penyewa dan juga pemilik rumah.
Dalam konteks menyewa ini Tuan Yang di-Pertua, peranan kerajaan adalah mempertimbangkan kebajikan dan hak kedua-dua pihak. Dan di sudut yang lain-lain, sama juga kita menggalakkan kepada pembelian rumah dan akses pembiayaan itu sendiri supaya lebih ramai yang boleh memiliki rumah.
Dan yang saya sebutkan tadi juga, SJKP telah pun ditambah sehingga ke RM40 bilion keseluruhannya. Daripada asal 2008 hanya RM10 bilion dan sepanjang Kerajaan Malaysia MADANI ini Tuan Yang di-Pertua, tiga kali tambahan RM10 bilion ia adalah untuk membolehkan anak-anak muda kita memiliki rumah dan kediaman sendiri. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Tuan Azahar bin Hassan
Soalan tambahan.
Timbalan Yang di-Pertua
Saya sebenarnya nak tamatkan sidang ini sebelum jam 12 sampai soalan nombor 14.
Tuan Azahar bin Hassan
Okey.
Timbalan Yang di-Pertua
Nak juga, YB. Azahar?
Tuan Azahar bin Hassan
Tak apa. Kalau tak bagi, tak apa. Saya duduk.
Timbalan Yang di-Pertua
Baik. Tak apa. Tak apa. Untuk YB. Azahar, saya kasi.
Tuan Azahar bin Hassan
Tak bagi, saya duduklah.
Timbalan Yang di-Pertua
Okey, silakan.
Tuan Azahar bin Hassan
Okey, terima kasih Yang di-Pertua sayang...
[Ketawa] Di Perlis, harga rumah agak mahal. Ini tak dapat dinafikan mungkin kerana harga tanah dan sebagainya. Adakah Kerajaan MADANI merancang untuk membina rumah-rumah yang harga mampu milik di Perlis? Sebab, di Perlis memang ramai anak muda ataupun nelayan memerlukan rumah-rumah untuk kelangsungan hidup pada masa depan.
Terima kasih.
Datuk Hajah Aiman Athirah binti Sabu
Tuan Yang di-Pertua, di peringkat Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, kita ada PRR— Program Residensi Rakyat ataupun dulu kita sebut PPR. Residensi Rakyat ini sebab kita tambah baik, Tuan Yang di-Pertua. Kalau ianya diperlukan, maka daripada kerajaan negeri boleh mencadangkan kepada kita tanah dan dimajukan kepada kita untuk diangkat kepada Kementerian Kewangan. Manakala yang selanjutnya, kita ada residensi PR1MA, Tuan Yang di-Pertua dan juga Rumah Mesra Rakyat.
Perbincangan ini, kementerian sentiasa terbuka untuk mengadakan perbincangan strategik bersama dengan pihak kerajaan negeri sekali pun dan juga pemaju-pemaju swasta untuk kita menambah lagi keperluan yang sekiranya ada di Perlis, tapi dia kena stabil lah, Tuan Yang di-Pertua. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua
Okey.
Puan Tiew Way Keng
Soalan yang sangat penting sebenarnya bagi... [Tidak jelas]
Timbalan Yang di-Pertua
Baiklah, YB. Tiew. Silakan.
Puan Tiew Way Keng
Terima kasih. Terima kasih kepada Datuk Yang di-Pertua, yang selalunya bertimbang rasa. Isu saya adalah sangat penting. Soalan saya ialah― memandangkan kemiskinan bandar bagi golongan muda semakin serius kebelakangan ini, ada golongan muda yang mereka bekerja keras dengan tiga pekerjaan, tetapi disebabkan mereka telah ada keluarga, ada anak, sehinggalah mereka tidak dapat teruskan untuk membayar atau menampung sewaan rumah. Jadi, adakah kerajaan ada sebarang strategi untuk menangani masalah ini? Sekian, terima kasih.
Datuk Hajah Aiman Athirah binti Sabu
Tuan Yang di-Pertua, terima kasih, Yang Berhormat. Sebahagian besar saya dah jawab pun dalam jawapan asal saya, Tuan Yang di-Pertua, tapi saya ingin memberikan penekanan bahawa strategi kerajaan dalam menangani kemiskinan bandar ini adalah tidak hanya tertumpu kepada penyediaan rumah semata-mata, tetapi mestilah juga merangkumi usaha bagi memastikan rakyat mempunyai akses kepada kediaman yang mampu dimiliki.
Saya sebutkan tadi, banyak insentif-insentif yang kita gerakkan. Pada masa yang sama, persekitaran bandar yang berdaya huni serta kos sara hidup yang lebih mampan.
Jadi, ini memerlukan pendekatan the-whole-nation. Semua kementerian, semua pasukan perlu bekerjasama.
Terima kasih, Tuan Yang di-Pertua.
Timbalan Yang di-Pertua
Baik. Ahli Yang Berhormat, saya nak habiskan sebelum jam 12 sampai soalan nombor 14 ya. Jadi, selepas ini saya akan bagi satu sahaja soalan tambahan. Maknanya, soalan tambahan daripada penanya yang asal sahaja ya.
Sekarang saya jemput Senator Dr. Jufitri bin Joha.
Dr. Jufitri bin Joha
Assalamualaikum warahmatullah. Tuan Yang di-Pertua, sebelum PRN soalan nombor 9, selepas PRN pun soalan nombor 9.
9. Dr. Jufitri bin Joha minta Menteri Luar Negeri menyatakan, sejauh manakah usaha pemantauan perlaksanaan Pelan Strategik Kementerian Luar 2026–2030 bagi memastikan Malaysia kekal berprinsip, pragmatik dan menjadi pemain global yang penting di semua platform penting global.
Timbalan Yang di-Pertua
[Ketawa] Silakan, YB. Menteri.
Timbalan Menteri Luar Negeri - Dato Lukanisman bin Awang Sauni
Terima kasih, Tuan Yang di-Pertua. Saya tetap menjawab soalan nombor 9. Saya mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Senator Dr. Jufitri bin Joha atas pertanyaan yang dikemukakan.
Datuk Yang di-Pertua, Pelan Strategik Kementerian Luar Negeri 2026–2030 telah dilancarkan oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia pada 23 Februari 2026 sebagai hala tuju strategik kementerian dalam memperkukuhkan pelaksanaan dasar luar negara secara bersasar bagi tempoh lima tahun akan datang.
Pelan strategik ini menggariskan 8 teras strategik yang disokong oleh 33 strategi dan diterjemahkan melalui 139 inisiatif, antara fokus utamanya ialah:
(i) memperkukuhkan diplomasi dua hala dan pelbagai hala;
(ii) mempertingkatkan peranan proaktif Malaysia dalam ASEAN dan usaha memperkukuhkan kepusatan ASEAN;
(iii) memelihara kedaulatan serta kepentingan maritim negara;
(iv) memperkasa diplomasi awam dan penyampaian perkhidmatan;
(v) memperkukuhkan kapasiti institusi; dan
(vi) memastikan pelaksanaan komitmen Malaysia di bawah Konvensyen Senjata Kimia.
Pelaksanaan pelan strategik ini melibatkan seluruh warga Kementerian Luar Negeri, termasuk semua perwakilan diplomatik Malaysia di luar negara. Pendekatan menyeluruh ini bertujuan memastikan dasar luar Malaysia dapat dilaksanakan secara lebih bersepadu, sekali gus melindungi kepentingan negara, menyokong agenda pembangunan nasional dan memperkukuhkan kedudukan serta pengaruh Malaysia di peringkat serantau dan antarabangsa.
Datuk Yang di-Pertua, Kementerian Luar Negeri telah mewujudkan pendekatan pemantauan yang berstruktur bagi memastikan Pelan Strategik Kementerian Luar Negeri 2026–2030 dilaksanakan secara berkesan, konsisten dan berpaksikan keberhasilan. Pendekatan ini memberikan tumpuan kepada pencapaian sasaran yang telah ditetapkan di samping memastikan setiap inisiatif menyokong keutamaan dasar luar Malaysia.
Pemantauan dilaksanakan secara sistematik melalui pelaporan dalaman oleh bahagian-bahagian di kementerian, termasuk melalui penyerahan kad skor suku tahunan oleh semua bahagian. Di peringkat perwakilan diplomatik Malaysia di luar negara pula, pemantauan turut diperkukuhkan melalui Petunjuk Prestasi Utama Ketua Perwakilan (HOMKPI) yang ditetapkan kepada semua ketua perwakilan dan dilaporkan secara bulanan.
Datuk Yang di-Pertua, selain itu, kementerian melaksanakan penilaian berkala bagi mengukur kemajuan pelan strategik berdasarkan sasaran yang ditetapkan.
Penilaian ini memastikan pelaksanaannya kekal selari dengan kepentingan nasional, keutamaan dasar luar serta perkembangan serantau dan antarabangsa.
Penilaian berkala ini penting dalam memastikan kesiapsiagaan kementerian berada di tahap optima terutamanya dalam menghadapi landskap geopolitik dan geoekonomi global yang semakin kompleks, dinamik dan tidak menentu. Oleh itu, pelan tindakan yang digariskan dalam pelan strategik ini perlu kekal relevan, responsif dan adaptive terhadap perubahan masa.
Tuan Yang di-Pertua, melalui pendekatan pemantauan dan penilaian yang sistematik, berterusan dan menyeluruh ini, Kementerian Luar Negeri yakin bahawa Pelan Strategik 2026–2030 ini dapat dilaksanakan dengan berkesan. Pelaksanaan yang berkesan ini sekali gus akan memperkukuhkan keupayaan Malaysia untuk mengamalkan dasar luar yang kekal berprinsip, pragmatik dan konstruktif agar Malaysia dapat terus memainkan peranan yang bermakna di platform serantau dan global keutamaannya. Sekian, terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua
Soalan tambahan.
Dr. Jufitri bin Joha
Terima kasih, Timbalan Menteri. Saya melihat strategi yang ketiga adalah, dengan izin, proactive role in ASEAN. Selepas kita melihat kejayaan penganjuran ASEAN pada tahun lepas, adakah ada inisiatif selepas ini, khususnya pihak Wisma Putra, untuk mengambil inisiatif mengetuai inisiatif-inisiatif lain? Sebagai contoh, Global South. Dan adakah juga pihak Wisma Putra ada cadangan untuk meneruskan majlis perundingan dasar luar negeri sebagaimana yang dibuat oleh Menteri Luar sebelum ini? Terima kasih.
Dato Lukanisman bin Awang Sauni
Terima kasih, Yang di-Pertua. Berkenaan persoalan yang dibangkitkan, kita akan mengekalkan sikap― ataupun sebagai ASEAN centrality ataupun ketunjungan utama adalah merupakan dasar luar Malaysia. Dan juga, kita akan menekankan dan juga memperkukuhkan kepusatan ASEAN ini dengan menjadikan peranan utama dalam apa-apa perbincangan.
Buat ketika ini, seperti Ahli Dewan sedia maklum, bahawa Menteri Luar dan juga Wisma Putra sedang giat dalam perundingan bagi Myanmar, di mana kita mempunyai terdapat beberapa keberhasilan yang telah dicapai dan kita konsisten dalam memberikan tekanan kepada Myanmar untuk memperbaiki struktur dan juga masalah yang dihadapi ketika ini.
Selain daripada itu juga, peranan Malaysia di dalam ASEAN adalah untuk membantu dan juga untuk kita memperkukuhkan lagi ASEAN ini menjadi tumpuan kepada dunia dari sudut industri dan juga ekonomi, di mana kita mempunyai hampir kurang 670 juta potensi ekonomi yang boleh kita bangunkan. Saya rasa itu sahaja untuk ASEAN dan kita akan lebih memperkukuhkan.
Dan saya mengharapkan agar kami di Wisma Putra kelak akan berkongsi pelan 2026 hingga 2030 ini dalam bentuk dokumen kepada Ahli-ahli Dewan. Sekian, terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua
Okey. Terima kasih, Menteri. Sekarang saya jemput Tuan Thiagarajah a/l Rajagopal.
Tuan Thiagarajah a/l Rajagopal
Terima kasih, Datuk Yang di-Pertua. Soalan saya nombor 10.
10. Tuan Thiagarajah a/l Rajagopal minta Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan menyatakan, dasar dan garis panduan sedia ada berkaitan penyediaan kemudahan atau ruang khas untuk warga emas dalam projek pembangunan perumahan baharu serta sama ada terdapat perancangan untuk memperkukuh keperluan tersebut dalam garis panduan perancangan bandar.
Timbalan Yang di-Pertua
Menteri.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan - Datuk Hajah Aiman Athirah binti Sabu
Bismillahirrahmanirrahim. Tuan Yang di-Pertua, untuk makluman Tuan Yang di-Pertua dan Ahli Yang Berhormat, selaras dengan aspirasi MADANI yang mengutamakan kesejahteraan rakyat serta pembangunan bandar yang lebih inklusif dan berdaya huni, Kerajaan MADANI komited memastikan perancangan dan pembangunan fizikal negara mengambil kira keperluan semua lapisan masyarakat, termasuklah warga emas.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan - Datuk Hajah Aiman Athirah binti Sabu
Mengambil kira semua lapisan masyarakat, termasuklah warga emas.
Pendekatan ini dilaksanakan melalui pengukuhan dasar, garis panduan, perancangan serta penyediaan persekitaran yang lebih selamat, mudah diakses dan juga menyokong penuaan yang aktif agar warga emas dapat terus menikmati kualiti hidup yang lebih baik.
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, khususnya melalui PLANMalaysia sedang memuktamadkan draf garis panduan perancangan fizikal warga emas yang akan dikemukakan untuk pertimbangan dan kelulusan Mesyuarat Jemaah Menteri. Draf ini disediakan sebagai rujukan kepada kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan dan pihak berkepentingan dalam merancang pembangunan bandar dan komuniti mesra usia.
Draf ini juga disediakan dengan mengambil kira perubahan demografi negara, peningkatan populasi warga emas serta perkembangan dasar amalan terbaik dan keperluan semasa bagi menyokong pembentukan bandar dan komuniti mesra usia.
Bagi projek pembangunan perumahan baharu, draf ini menggariskan penyediaan kemudahan pembangunan yang memenuhi keperluan warga emas, termasuklah pusat jagaan, rumah jagaan kejururawatan swasta serta Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) serta menggalakkan penyediaan perumahan khas warga emas sebagai salah satu pilihan perumahan yang lebih sesuai dengan keperluan serta kesejahteraan warga emas.
Bagi memastikan penyediaan kemudahan tersebut, draf garis panduan warga emas ini— pembangunan warga emas ini mencadangkan nisbah penyediaan pusat jagaan warga emas, sama ada pusat jagaan komuniti, pusat jagaan harian atau hab sokongan warga emas pada kadar satu pusat bagi setiap 1,000 hingga 1,500 warga emas atau bersamaan sekurang-kurangnya satu pusat bagi setiap unit kejiranan yang berkependudukan 5,000 hingga 10,000 orang, tertakluk kepada keperluan setempat, kepadatan penduduk dan juga tahap kebergantungan warga emas itu sendiri. Nisbah ini bertujuan memastikan kemudahan pada penjagaan warga emas itu disediakan secara lebih terancang, mudah diakses dan menyokong sistem sokongan komuniti.
Selain daripada itu Tuan Yang di-Pertua, bagi memastikan penyediaan ruang yang selesa, selamat dan kondusif, draf ini juga menggariskan keperluan ruang minimum bagi pusat jagaan warga emas. Antaranya termasuklah penyediaan keluasan minimum tiga meter persegi bagi setiap warga emas, tidak termasuk ruang sokongan serta sembilan meter persegi bagi setiap bilik warga emas. Dan keperluan ini bertujuan memastikan warga emas mempunyai ruang peribadi yang mencukupi, di samping menyokong penyampaian perkhidmatan penjagaan yang lebih berkualiti.
Pada masa yang sama, draf ini juga mengambil kira bahawa sebahagian besar daripada warga emas di Malaysia memilih untuk terus tinggal di kediaman dan komuniti sedia ada. Sehubungan itu, kita juga memberi penekanan kepada pendekatan aging in place bagi membolehkan warga emas menjalani kehidupan secara berdikari, selamat dan berkualiti dalam persekitaran yang mereka kenali.
Pendekatan ini juga disokong melalui penyediaan rangkaian pejalan kaki yang selamat dan bebas daripada halangan, akses kepada pengangkutan awam, ruang rekreasi dan juga kemudahan kesihatan serta kemudahan asas yang lain yang mudah diakses.
Pada masa yang sama, draf garis panduan ini juga menyediakan panduan pelaksanaan inisiatif persekitaran mesra warga emas yang menggariskan prinsip perancangan selamat, jelas, bebas halangan, saling berhubungan dan mesra usia.
Panduan ini bertujuan memberikan bantuan kepada kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan dan juga pihak-pihak yang berkepentingan dalam merancang serta melaksanakan pembangunan yang mewujudkan persekitaran yang selamat, inklusif dan kondusif. Sekali gus membolehkan warga emas kita menjalani kehidupan yang lebih berdikari, aktif, bermaruah dan terus mengambil bahagian dalam komuniti.
Tuan Yang di-Pertua, PLANMalaysia akan terus bekerjasama dengan semua pihak, kerajaan negeri, PBT dan juga agensi-agensi berkaitan bagi menggalakkan penerapan elemen bandar dan komuniti mesra usia dalam penyediaan rancangan pemajuan serta pelaksanaan pembangunan fizikal di seluruh negara untuk kita memastikan wujud persekitaran yang lebih inklusif, selamat dan berdaya huni serta responsif kepada semua kelompok masyarakat kita, terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua
Soalan tambahan.
Tuan Thiagarajah a/l Rajagopal
Terima kasih YB Timbalan Menteri atas penjelasan tadi. Soalan tambahan saya, adakah draf garis panduan Perancangan Fizikal Warga Emas 2026 yang akan dibawa ke Mesyuarat Jemaah Menteri nanti terpakai kepada semua jenis pembangunan baharu? Dan bagaimanakah pendekatan pelaksanaannya oleh kerajaan negeri iaitu pihak berkuasa tempatan (PBT) serta pihak- pihak yang berkepentingan? Terima kasih.
Datuk Hajah Aiman Athirah binti Sabu
Tuan Yang di-Pertua, terima kasih Ahli Yang Berhormat kerana— saya kira kita semua sangat peka untuk keperluan warga emas, Tuan Yang di-Pertua. Sebab kita semua bakal-bakal warga emas.
Timbalan Yang di-Pertua
Saya dah sampai.
[Ketawa]
Datuk Hajah Aiman Athirah binti Sabu
[Ketawa] Untuk makluman Yang Berhormat Senator, draf garis panduan ini merupakan dokumen panduan perancangan yang disediakan oleh pihak PLANMalaysia kementerian ini bagi tujuan penyeragaman pelaksanaan oleh pihak sama ada pihak kerajaan negeri, PBT dan juga pihak-pihak berkepentingan untuk kita merancang pembangunan yang lebih inklusif tadi.
Adapun ia sebagai satu dokumen yang bersifat pentadbiran dan berperanan sebagai panduan. Jadi, pelaksanaannya adalah tertakluk kepada persetujuan kerajaan negeri serta penerimaan pakai pihak PBT melalui— menurut kepada Akta Perancangan Bandar dan Desa dan undang-undang yang berkaitan yang berkuat kuasa.
Walau bagaimanapun Ahli Yang Berhormat, sekiranya mana-mana peruntukan di dalam garis panduan ini diterima pakai sebagai syarat dalam kelulusan kebenaran merancang dan kelulusan pembangunan oleh PBT yang diterima pakai sebagai syarat, maka keperluan tersebut menjadikan sebahagian daripada syarat yang perlu dipatuhi oleh pemohon-pemohon bagi mendapatkan kelulusan pembangunan, selaras dengan Akta 172.
Jadi, itu yang mungkin kita perlu perjuangkanlah Yang Berhormat Senator, untuk kita memastikan pihak berkuasa negeri dan khususnya PBT, guna pakai, masukkan di dalam syarat. Walaupun draf ini bukan satu perundangan tetapi kerajaan juga— kementerian kita sangat menggalakkan supaya pihak kerajaan negeri, pihak PBT dan semua pihak, mengambilnya sebagai satu perkara yang penting untuk diberikan penekanan. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Timbalan Yang di-Pertua
Baik. Sekarang saya jemput Datuk Wira Koh Nai Kwong.
Datuk Wira Koh Nai Kwong
Terima kasih Datuk Yang di-Pertua, soalan saya nombor 11.
11. Datuk Wira Koh Nai Kwong minta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan menyatakan, inisiatif khusus Kerajaan Persekutuan dalam bekerjasama dengan kerajaan negeri bagi mewartakan lebih banyak zon pengeluaran makanan kekal di kawasan pinggir bandar, serta bantuan geran kewangan kepada agropreneur muda yang berdepan tekanan kos pajakan tanah yang tinggi.
Timbalan Yang di-Pertua
Menteri.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan - Datuk Chan Foong Hin
Tuan Yang di-Pertua, pada masa kini terdapat sejumlah 190 kawasan zon pengeluaran makanan kekal, tanah milik Pesuruhjaya Tanah Persekutuan (PTP) dan kerajaan negeri meliputi Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM), Taman Kekal Pengeluaran Ruminan (TKPR) dan Projek Zon Industri Akuakultur (ZIA). Daripada jumlah tersebut, sebanyak 176 kawasan adalah di bawah kerajaan negeri dan sebanyak 149 kawasan telah diwartakan.
Peranan dan tanggungjawab KPKM sebagai pengguna dana adalah terhad kepada pembangunan infrastruktur serta menyelia aktiviti pertanian dan penternakan yang dilaksanakan di atas tanah tersebut, di samping menyediakan khidmat teknikal yang berkaitan.
Pewartaan suatu kawasan bagi zon pengeluaran makanan kekal adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri. Walau bagaimanapun, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) melalui Jabatan Pertanian (DOA), Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) dan Jabatan Perikatan (DOF) sedia bekerjasama dengan kerajaan negeri dalam mengenal pasti, membangun dan mewartakan kawasan berpotensi yang mempunyai kesesuaian dana, akses kepada pasaran dan infrastruktur sokongan sebagai zon pengeluaran makanan kekal, termasuk di kawasan pinggir bandar.
KPKM amat prihatin terhadap cabaran yang dihadapi oleh agropreneur muda yang berdepan tekanan kos operasi, termasuk kos bagi dana yang semakin meningkat.
Oleh itu, bagi meringankan beban modal agropreneur muda bagi memulakan atau mengembangkan projek pertanian, kementerian telah melaksanakan Program Agropreneur Muda (PAM) sejak tahun 2016 serta telah ditambah baik dan dijenamakan semula sebagai Program Agropreneur NextGen (PAN) mulai 2026.
Melalui program ini, KPKM menyediakan bantuan geran dalam bentuk input barangan yang disasarkan dapat mengalihkan offset sebahagian peruntukan modal pusingan yang sepatutnya digunakan untuk input serta peralatan pertanian, automasi dan teknologi kepada menampung kos komitmen tunai lain seperti kos pajakan tanah.
Terdapat dua jenis geran disediakan iaitu Geran Agropreneur NextGen (GAN) Start-Up untuk peralatan dan input pertanian bernilai sehingga RM30,000 dan GAN Scale-Up bagi tujuan pengembangan projek melalui pembelian teknologi moden seperti automasi, dron, Internet of Things (IoT), fertigasi automatik, controlled environment agriculture (CEA) dan sebagainya yang bernilai sehingga RM50,000. Sekian, terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua
Baik.
Datuk Wira Koh Nai Kwong
Soalan tambahan. Terima kasih Datuk Yang di- Pertua. Terima kasih juga diucapkan kepada Yang Berhormat Timbalan Menteri atas jawapan tadi. Soalan tambahan saya adalah bagaimana Kerajaan Persekutuan dapat menjamin tiada pengusaha pertanian atau pekebun tidak dipinggirkan dalam usaha inisiatif ini? Terima kasih.
Datuk Chan Foong Hin
Okey, kesemua TKPM dan TKPR dan ZIA di— akan dikawal selia oleh EOA, TBS dan juga DOF. Memang ada review yang berkala untuk meninjau prestasi penyewa-penyewa tanah lot-lot tanah tersebut di atas tanah-tanah TKPM, TKPR dan juga ZIA. Kita harap melalui cara ini, selain daripada bimbingan teknikal yang kita bekalkan, kita nak memastikan tak ada pengusaha yang terpinggir apabila mereka mengambil bahagian dalam usaha ini.
Cuma untuk soalan sama ada kita ada kapasiti untuk menambah number dari segi bilangan blok tanah yang boleh disewa ini. Dari semasa ke semasa, kita nak bergantung pada peruntukan, sama ada, ada kekangan atau tempat atau tapak tanah yang sesuai yang boleh kita bincang dengan kerajaan-kerajaan negeri tertentu. Sekian, terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua
Sekarang saya jemput Dato’ Sri Vell Paari a/l Tun Samy Vellu untuk soalan dia yang terakhir dalam Dewan ini. Beliau akan menamatkan perkhidmatan tak lama lagi.
Dato' Sri Vell Paari a/l Tun Samy Vellu
Terima kasih Datuk Yang di-Pertua.
Soalan saya nombor 12.
12. Dato' Sri Vell Paari a/l Tun Samy Vellu minta Menteri Pendidikan Tinggi menyatakan, sama ada kerajaan bercadang memperkenalkan satu skim pelaburan atau dana pendidikan nasional bagi setiap bayi yang dilahirkan, khususnya daripada keluarga B40 dan M40 sebagai simpanan jangka panjang yang hanya boleh digunakan bagi membiayai pendidikan tinggi apabila mencapai usia yang ditetapkan.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi - Tuan Adam Adli Abd Halim
Datuk Tuan Yang di-Pertua, bagi jawapan yang dikemukakan oleh Yang Berhormat Dato’ Senator selain pembiayaan melalui pinjaman pendidikan, sebenarnya kerajaan melalui Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional atau PTPTN ini telah pun menyediakan kemudahan simpanan pendidikan menerusi skim Simpanan Pendidikan Nasional atau SSPN yang menggalakkan ibu bapa atau penjaga untuk memulakan tabungan pendidikan seawal kelahiran anak lagi.
Jadi sehingga 30 Jun 2026 sebanyak 7.5 juta akaun telah pun dibuka dengan jumlah simpanan terkumpul sebanyak RM25.5 bilion sekarang. Simpanan SSPN ini turut menawarkan pelbagai insentif, termasuk pelepasan cukai, dividen yang kompetitif, perlindungan takaful serta jaminan kerajaan sekali gus menjadi instrumen simpanan yang selamat dan mampan bagi tujuan untuk membiayai pendidikan tinggi.
Pada tahun 2025, PTPTN telah pun memberikan dividen sebanyak 4.1 peratus, yang mana ini merupakan dividen tertinggi dalam tempoh 11 tahun untuk penyimpan dalam SSPN. Jadi, kita berpandangan bahawa usaha untuk membudayakan simpanan pendidikan sejak awal ini adalah pendekatan yang lebih mampan bagi mengurangkan kebergantungan kepada pembiayaan pendidikan pada masa hadapan, terutama sekali buat pelajar dalam bentuk hutang.
Jadi, ini adalah salah satu mekanisme yang telah pun diwujudkan untuk memastikan kita boleh memastikan generasi yang lahir selepas ini dapat membiayai pendidikan tinggi mereka tanpa bergantung kepada hanya satu-satu mekanisme sedia ada seperti pinjaman.
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat juga, buat masa ini kerajaan belum ada cadangan khusus untuk memperkenalkan skim pelaburan atau program yang berbentuk seperti dana pendidikan nasional secara automatik untuk bayi yang dilahirkan.
Walau bagaimanapun, kerajaan ucap terima kasih atas cadangan tersebut dan kita akan menilai dari semasa ke semasa pelbagai cadangan baharu termasuk mekanisme yang boleh memperluaskan lagi akses kepada simpanan pendidikan.
Sebarang pertimbangan untuk pelaksanaan perlu mengambil kira aspek kemampanan fiskal kerajaan, impak kewangan jangka panjang serta keberkesanan pelaksanaan. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua
Soalan tambahan.
Dato' Sri Vell Paari a/l Tun Samy Vellu
Terima kasih Yang Berhormat.
Sempena dengan sidang terakhir saya, soalan tambahan saya, adakah kerajaan bersedia menyediakan sumbangan permulaan atau caruman tahunan serta adakah skim ini akan diselaraskan dengan SSPN, PTPTN atau KWSP supaya dana tersebut dapat berkembang sehingga anak tersebut memasuki pendidikan tinggi. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua
Terima kasih atas perkhidmatan selama enam tahun ini. Kita ucapkan terima kasih kepada Dato’ Vell Paari a/l Tun Samy Vellu. Yang Berhormat Menteri.
[Dewan riuh]
Tuan Adam Adli Abd Halim
Saya ucapkan terima kasih. Itu satu kita sebut tadi ini cadangan yang sangat baik. Ada beberapa calculation yang kita pernah buat.
Contohnya, kalau kerajaan memulakan simpanan awal sebanyak RM1,000 bagi setiap bayi kelahiran. Kalau tidak ada sebarang deposit yang dibuat oleh ibu bapa juga kalau hanya berdasarkan kepada RM1,000 awal yang dimasukkan atau yang disumbangkan oleh kerajaan dalam tempoh katakan 18 tahun sejak simpanan itu dibuka dengan dividen empat peratus contohnya, kita hanya akan mampu untuk simpan dan simpanan tersebut hanya mampu untuk jangka dalam lebih kurang RM2,000.
Jadi, ini memerlukan sebenarnya kesepakatan antara semua. Kerajaan boleh memulakan sesuatu, tapi ia nya perlu disambut dengan baik oleh masyarakat juga.
Kalau dalam tempoh 18 tahun boleh disimpan RM60, RM70 sebulan untuk setiap anak- anak kita yang lahirkan dengan contribution juga daripada kerajaan itu lebih mampan.
Kita boleh capai satu jumlah simpanan yang lebih baik RM20,000 lebih, yang mana selalunya on average itu adalah jumlah yang turut diberikan kepada pelajar menerusi pinjaman.
Saya setuju bahawa bagus untuk kita buka perbincangan, di mana untuk kita boleh lahirkan generasi yang ingin mendapatkan pendidikan tinggi tanpa perlu untuk bergantung kepada sistem yang merugikan mereka di masa hadapan seperti hutang. Itu masih lagi kita pertahankan. Terima kasih Yang Berhormat.
Timbalan Yang di-Pertua
Elakkan daripada berhutang. Betul.
[Ketawa] Sekarang saya jemput Senator Datuk Edward Linggu Bukut.
Datuk Edward Linggu Bukut
Terima kasih Datuk Yang di-Pertua. Selamat pagi semua dan soalan saya nombor 13. Terima kasih.
13. Datuk Edward Linggu Bukut minta Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menyatakan:
(a) apakah tindakan susulan Kerajaan terhadap data semasa yang menunjukkan jurang ketara kesejahteraan kanak-kanak di Sabah, khususnya nutrisi, pendidikan dan keselamatan makanan; dan
(b) apakah strategi intervensi bersepadu bagi memastikan perlindungan sosial kanak-kanak diperkukuh secara menyeluruh.
Timbalan Yang di-Pertua
Menteri.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat - Puan Lim Hui Ying
Terima kasih Datuk Yang di-Pertua. Terima kasih Yang Berhormat Senator. Kerajaan melaksanakan inisiatif kesejahteraan kanak-kanak secara bersepadu merentas kementerian khususnya KPWKM, KKM dan KPM. Pendekatan ini merangkumi aspek perlindungan, kesihatan, pemakanan dan pendidikan kanak-kanak.
Dalam usaha memastikan perlindungan sosial kanak-kanak diperkukuhkan secara menyeluruh, KPWKM melaksanakan strategi intervensi bersepadu melalui Pelan Tindakan Dasar Kanak-kanak Negara dengan memfokuskan tindakan kepada advokasi awam, perkhidmatan sokongan, psikososial dan perlindungan bersasar.
Dalam tindakan advokasi dan kesedaran antara program utama yang dilaksanakan adalah Program Advokasi Perlindungan Kanak-kanak, KASIH kanak- kanak yang dilaksanakan melalui JKM. Pada tahun 2025, sebanyak 676 buah sekolah telah terlibat dalam pelaksanaan program ini melibatkan lebih 70,000 pelajar.
Daripada jumlah ini, sebanyak 28 buah sekolah telah dilibatkan di negeri Sabah.
Melebihi sasaran sebenar iaitu 25 buah sekolah dengan lebih kurang 2,400 murid menerima manfaat pada tahun 2025. Program ini menggalakkan penglibatan ibu bapa, guru dan komuniti dalam memastikan kebajikan, keselamatan dan perkembangan kanak-kanak sentiasa terpelihara.
Selain itu, inisiatif dan perkhidmatan lain membabitkan perlindungan serta perkembangan jati diri dan peningkatan pengetahuan kanak-kanak yang dilaksanakan oleh KPWKM dan agensinya termasuk di Sabah adalah seperti PEKERTI iaitu Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial di bawah LPPKN, penyaluran bantuan kewangan kebajikan melalui skim bantuan kanak-kanak dan bantuan anak pelihara oleh JKM dan perkhidmatan pusat sokongan sosial setempat yang dikendalikan oleh Yayasan Kebajikan Negara Malaysia.
Sokongan turut disediakan melalui Talian Kasih 15999 dan juga langkah pencegahan turut dilaksanakan melalui pusat aktiviti kanak-kanak di bawah pasukan perlindungan kanak-kanak bagi mencegah penganiayaan dan pengabaian kanak-kanak.
Sementara itu, menerusi KKM kerajaan memantau status pemakanan kanak-kanak melalui beberapa sumber data antaranya melalui tinjauan kesihatan dan morbiditi kebangsaan yang dilaksanakan secara berkala setiap empat tahun.
KKM juga melaksanakan beberapa program bersama kementerian lain, agensi serta NGO melalui pendekatan whole of government approach dengan izin bagi menangani masalah malpemakanan dalam kalangan kanak-kanak antara seperti dengan izin Healthy Eating Responsibility for Women, Program Seribu Hari Pertama Kehidupan, Program Pemulihan Kanak-kanak Kekurangan Zat Makanan dan pelaksanaan menu standard yang diwajibkan oleh KKM di taska.
Akhir sekali, juga KPM juga memainkan peranan penting melalui pelaksanaan program intervensi di sekolah melalui pakej inisiatif “Sekolahku Sihat, Stail Kita”, program hidangan berkhasiat di sekolah atau lebih dikenali sebagai HiTS, Rancangan Makanan Tambahan (RMT) dan Program Susu Sekolah. Kerajaan akan terus memastikan setiap kanak-kanak mendapat akses kepada pendidikan yang berkualiti, inklusif dan selamat bagi mengembangkan potensi mereka secara menyeluruh. Sekian terima kasih.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat - Puan Lim Hui Ying
Kerajaan akan terus memastikan setiap kanak-kanak mendapat akses kepada pendidikan yang berkualiti, inklusif dan selamat bagi mengembangkan potensi mereka secara menyeluruh. Sekian, terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua
Soalan tambahan.
Datuk Edward Linggu Bukut
Terima kasih Yang Berhormat Timbalan Menteri yang memberi jawapan yang begitu komprehensif sekali. Apa pun, mohon sedikit pencerahan. Soalan tambahan iaitu sejauh manakah kerajaan menilai keberkesanan intervensi terhadap kanak-kanak rentan, bukan sekadar berdasarkan jumlah penerima atau bantuan yang disalurkan tetapi berdasarkan perubahan taraf hidup mereka dalam jangka panjang? Terima kasih.
Puan Lim Hui Ying
Terima kasih Dato Yang di-Pertua. Terima kasih kepada Yang Berhormat Senator. Kerajaan berpandangan bahawa keberkesanan intervensi terhadap kanak-kanak rentan tidak boleh dinilai berdasarkan jumlah penerima atau bantuan yang disalurkan semata-mata. Penilaian perlu turut mengambil kira keberhasilan intervensi terhadap kehidupan kanak-kanak, termasuk aspek keselamatan dan perlindungan, kesihatan, pendidikan, kesejahteraan psikososial serta kestabilan persekitaran keluarga.
Sehubungan itu, pemantauan dilaksanakan melalui pengurusan kes dan penilaian susulan oleh agensi pelaksana berdasarkan keperluan setiap kanak-kanak.
Antara perkara yang diberi perhatian ialah perubahan tahap risiko kehadiran dan pencapaian di sekolah, akses kepada rawatan kesihatan, keadaan emosi dan sosial, keselamatan tempat tinggal, pengukuhan fungsi keluarga serta pengurangan risiko pengabaian, penderaan atau eksploitasi berulang.
Kerajaan akan juga terus memperkukuhkan penyelarasan antara KPWKM, KKM, KPM dan juga kerajaan negeri, agensi berkaitan dan juga pertubuhan bukan kerajaan atau NGO melalui perkongsian maklumat dan juga rujukan kes serta pemantauan intervensi secara bersepadu. Pendekatan ini penting kerana perubahan taraf hidup kanak-kanak, lazimnya dipengaruhi oleh pelbagai faktor dan memerlukan sokongan rentas sektor yang berterusan. Sekian, terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua
Baik, sekarang kita tiba pada soalan yang terakhir pada pagi ini. Saya jemput Senator Tuan Musoddak bin Ahmad.
Tuan Musoddak bin Ahmad
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Soalan akhir, hari terakhir, soalan nombor 14.
14. Tuan Haji Musoddak bin Ahmad minta Menteri Luar Negeri menyatakan, apakah pelan kontingensi kerajaan bagi melindungi rakyat Malaysia di Timur Tengah, termasuk jemaah umrah, ketika konflik meningkat, ruang udara ditutup dan penerbangan digantung secara mengejut.
Timbalan Menteri Luar Negeri - Dato Lukanisman bin Awang Sauni
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua kerana memberikan kesempatan hingga ke soalan 14. Saya mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Senator Tuan Haji Musoddak bin Ahmad atas pertanyaan yang dikemukakan.
Tuan Yang di-Pertua, keselamatan dan kebajikan rakyat Malaysia di luar negara kekal menjadi keutamaan kerajaan. Ini termasuklah jemaah umrah kita. Pejabat-pejabat perwakilan diplomatik Malaysia sentiasa memantau rapat perkembangan situasi keselamatan di seluruh dunia, termasuk perkembangan konflik di Timur Tengah.
Semua perwakilan diplomatik Malaysia di luar negara telah mempunyai pelan kontigensi yang sentiasa dikemas kini. Pelan ini merangkumi pemetaan lokasi rakyat Malaysia, mekanisme komunikasi, penyelarasan sumber serta strategi evakuasi yang sistematik. Pelan ini berfungsi sebagai panduan operasi kepada para pegawai dalam menghadapi sebarang situasi krisis dalam memastikan tindakan bantuan serta evakuasi dapat dilaksanakan secara teratur dan berkesan.
Pelan berkenaan akan digerakkan dan disesuaikan mengikut keperluan semasa termasuk berdasarkan tahap risiko perkembangan situasi keselamatan setempat serta jumlah rakyat Malaysia yang terjejas.
Kementerian Luar Negeri sentiasa konsisten menggalakkan rakyat Malaysia yang berada di luar negara atau yang akan melakukan lawatan sosial ke mana-mana negara untuk mendaftarkan keberadaan mereka dengan pejabat perwakilan di negara yang dilawati melalui e-mel, panggilan telefon atau sistem e-Konsular. Pendaftaran ini amat penting bagi memastikan maklumat rakyat Malaysia adalah tepat, sekali gus memudahkan perancangan bantuan, penyampaian maklumat serta pelaksanaan operasi konsuler termasuk semasa situasi kecemasan dan evacuation berlaku.
Rakyat Malaysia juga digalakkan menggunakan aplikasi MyWorld Alert bagi membolehkan penyampaian maklumat penting dibuat secara lebih pantas sekiranya berlaku kecemasan. Aplikasi ini turut mempunyai fungsi komunikasi berasaskan lokasi semasa atau dengan izin, global positioning system (GPS) yang membolehkan rakyat Malaysia berhubung dengan pejabat perwakilan terdekat bagi mendapatkan bantuan sewajarnya.
Selain itu, kementerian akan terus mengeluarkan nasihat perjalanan atau pun travel advisory dengan izin, pemakluman media, siaran akhbar atau hebahan melalui saluran media sosial rasmi kementerian dan pejabat perwakilan sebagai panduan kepada rakyat Malaysia yang berada di kawasan berisiko. Hebahan tersebut bertujuan memastikan rakyat Malaysia sentiasa peka terhadap perkembangan semasa, mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan dan mengambil langkah berjaga-jaga.
Tuan Yang di-Pertua, sejak tercetusnya konflik di Asia Barat pada 28 Mac 2026, kementerian telah mengeluarkan tiga nasihat perjalanan atau dengan izin, travel advisory bagi memaklumkan rakyat Malaysia mengenai perkembangan semasa serta langkah berjaga-jaga yang perlu diambil berikutan pengumuman gencatan senjata pada 8 April 2026. Keadaan keselamatan di rantau tersebut telah menunjukkan pemulihan secara beransur-ansur dengan hampir semua ruang udara di Asia Barat kini kembali dibuka untuk operasi penerbangan.
Hubungan dua hala yang erat antara Malaysia dan Arab Saudi yang tersedia terjalin, memanfaatkan kedua-dua negara, terutamanya dalam urusan jemaah umrah dan haji. Perkara ini telah dibuktikan menerusi kerjasama dengan Kerajaan Arab Saudi yang telah berhasil dalam pelbagai usaha melindungi dan memastikan kebajikan rakyat Malaysia di Arab Saudi, khususnya di waktu-waktu konflik yang melanda di rantau tersebut.
Kementerian Luar Negeri menerusi perwakilan diplomatik Malaysia akan sentiasa mengadakan libat urus dengan pihak kerajaan di rantau tersebut. Selaku kerajaan, negara tuan rumah bagi memastikan kesiapsiagaan dalam menghadapi sebarang kebarangkalian yang akan berlaku di waktu berlakunya konflik demi menjaga kebajikan rakyat Malaysia di negara tersebut.
Di samping itu, perkembangan positif dalam rundingan antara Amerika Syarikat dan Iran dijangka akan terus menyumbang kepada peningkatan kestabilan serantau serta menyokong pemulihan operasi penerbangan antarabangsa secara menyeluruh.
Kementerian Luar Negeri kekal komited dalam memberikan perkhidmatan terbaik bagi memastikan keselamatan, kesejahteraan dan kebajikan rakyat Malaysia yang berada dan menetap di luar negara menjadi keutamaan terutamanya di negara berisiko konflik dan krisis kemanusiaan. Sekian, terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua
Soalan tambahan.
Tuan Musoddak bin Ahmad
Terima kasih Yang di-Pertua, terima kasih Yang Berhormat Timbalan Menteri. Adakah kerajaan mempunyai pelan kontingensi bersama Kementerian Luar dengan Kementerian Pengangkutan, Kementerian Pelancongan, syarikat-syarikat penerbangan di atas penutupan ruang udara yang berlanjutan ini? Dan yang kedua bagaimana dengan pelajar-pelajar kita yang berada di sana? Sejauh mana kesiapsiagaan terhadap mereka?
Dato Lukanisman bin Awang Sauni
Terima kasih Yang Berhormat Senator.
Pengalaman yang lepas telah pun memberikan kita pengalaman yang cukup baik sekiranya situasi dan konflik di Timur Tengah ini kembali meruncing. Dan juga ketegangan yang berlaku di Asia Barat ketika ini, kita pantau dengan teliti. Dan berkenaan tentang kerjasama antara kementerian, sememangnya kita menjalankan kerjasama tersebut di mana kita sentiasa melakukan pendekatan kerjasama bersepadu bersama dengan NGO-NGO yang aktif, persatuan agensi pelancongan ataupun pengendali-pengendali umrah ketika konflik berlaku.
Dalam kita membawa atau pun pelan evacuation rakyat-rakyat Malaysia juga, kita mempunyai bahagian kaunselor yang telah pun mengenal pasti keberadaan rakyat Malaysia dan ketika itu ramai rakyat-rakyat Malaysia yang ataupun stranded dengan izin, diberikan keutamaan untuk kembali ke Malaysia. Kita juga mempunyai syarikat-syarikat besar kepunyaan rakyat Malaysia ataupun government-linked company contohnya seperti PETRONAS yang mempunyai pelan terperinci untuk membawa keluar petugas- petugas atau pun pekerja-pekerja syarikat tersebut.
Kesemuanya dirancang di dalam satu mesyuarat yang khusus dan juga kita menjalinkan kerjasama dengan pihak TUDM dan juga kita juga mempunyai hubungan yang baik dengan syarikat-syarikat penerbangan untuk kita melakukan chartered flight kepada syarikat penerbangan ini untuk membawa balik. Walaupun demikian, kita sentiasa mengemas kini jumlah keberadaan rakyat Malaysia dan ketika ini, saya boleh berkongsi kita mempunyai lebih kurang 21,427 rakyat Malaysia yang berada di 14 buah negara yang berlaku konflik ini.
Dato Lukanisman bin Awang Sauni
Dan ketersediaan kita untuk membawa balik rakyat Malaysia akan kita nilaikan dengan peruntukan yang sedia ada ataupun peruntukan-peruntukan yang khusus digunakan semasa kecemasan dan kita mempunyai pelan yang komprehensif untuk perkara-perkara tersebut.
Dan juga, saya ingin menambah Tuan Yang di-Pertua, berkenaan juga isu-isu umrah ini. Sejak kebelakangan ini juga, pihak konsular kita banyak menerima aduan- aduan, di mana pengendali-pengendali umrah ataupun individu-individu yang menjalankan umrah secara DIY ini yang mempunyai masalah dan terperangkap dan kita juga bersedia membantu.
Walaupun demikian adalah menjadi tanggungjawab pengendali umrah tersebut untuk membawa balik dengan membayar semula tiket-tiket perjalanan tersebut. Sekian, terima kasih Datuk Yang di-Pertua.
Timbalan Yang di-Pertua
Terima kasih YB Menteri. Ahli-ahli Yang Berhormat, selesailah sesi pertanyaan bagi jawab lisan pada hari ini. Setiausaha.
[Sesi Pertanyaan-pertanyaan bagi Jawab Lisan tamat]
Timbalan Yang di-Pertua
Dipersilakan Menteri.
Timbalan Menteri Ekonomi - Dato' Indera Mohd Shahar bin Abdullah
Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Timbalan Yang di-Pertua
Masa 20 minit ya untuk bentang.
Dato' Indera Mohd Shahar bin Abdullah
Boleh.
Timbalan Yang di-Pertua
Terima kasih.
Dato' Indera Mohd Shahar bin Abdullah
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Saya mohon mencadangkan iaitu rang undang-undang bernama suatu Akta Statistik 2026 dibacakan kali yang kedua sekarang.
Timbalan Yang di-Pertua
Ada sesiapa menyokong? Eh, silakan.
[Ketawa]
Dato' Indera Mohd Shahar bin Abdullah
Datuk Yang di-Pertua, terlebih dahulu, saya mewakili Kementerian Ekonomi ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Undang- undang— JKPK SUU Dewan Negara, khususnya kepada Yang Berhormat Senator Puan Rita Sarimah anak Patrick Insol, selaku Pengerusi serta Ahli-ahli JKPK SUU, atas kesudian meluangkan masa untuk meneliti dan memberi pandangan terhadap Rang Undang-undang Statistik 2026 dalam sesi mesyuarat yang telah diadakan pada 21 Julai 2026.
[Datuk Seri Prof. Emeritus Dr. Awang bin Sariyan **mempengerusikan Mesyuarat****] Kementerian Ekonomi dan Jabatan Perangkaan Malaysia amat menghargai segala pandangan serta maklum balas yang telah dikemukakan oleh Ahli-ahli JKPK SUU. Sesi ini merupakan satu platform yang amat penting dalam memastikan setiap cadangan perundangan yang dibawa oleh kerajaan diteliti secara menyeluruh, mengambil kira kepentingan semua pihak serta selaras dengan prinsip tadbir urus yang baik. Memenuhi keperluan semasa negara serta menyokong pembangunan sistem statistik rasmi yang lebih bersepadu, berkualiti dan berintegriti tinggi.
Tuan Yang di-Pertua, rang undang-undang yang saya akan bentangkan ialah Rang Undang-undang Statistik 2026. RUU Statistik 2026 ini bertujuan yang pertama menggantikan Akta Perangkaan 1965 [Akta 415] bagi mewujudkan suatu kerangka perundangan yang lebih moden, komprehensif dan selaras dengan perkembangan ekosistem data dan statistik semasa.
Yang kedua, memperkukuhkan tadbir urus sistem statistik negara melalui penubuhan mekanisme penyelarasan yang berkesan bagi memastikan statistik rasmi negara dihasilkan secara terancang, bersepadu dan memenuhi keperluan pengguna.
Yang ketiga, menyelaras aktiviti statistik, termasuk penggunaan konsep definisi, klasifikasi, metodologi, statistik dan standard bagi meningkatkan kualiti, kebolehpercayaan, kebolehbandingan dan integriti statistik rasmi.
Keempat, memastikan kerahsiaan maklumat yang diperolehi bagi tujuan statistik dilindungi seperti yang diperuntukkan oleh undang-undang.
Kelima, memperkukuhkan pelaksanaan dasar, perancangan, pemantauan dan penilaian program pembangunan negara melalui penyediaan statistik yang berkualiti dan berasaskan bukti dan mengadakan peruntukan-peruntukan lain yang berkaitan dengannya.
Akta Perangkaan 1965 [Akta 415] telah digubal berdasarkan senario dan keperluan pada ketika itu. Datuk Yang di-Pertua, sehingga kini Akta 415 telah diguna pakai bagi tempoh yang panjang iaitu selama 61 tahun. Sepanjang tempoh tersebut, Malaysia telah melalui transformasi sosial, ekonomi dan teknologi yang pesat.
Justeru, perundangan yang dikemaskini dan moden membolehkan penghasilan data dan statistik yang menggambarkan keadaan semasa negara yang lebih tepat merangkumi bidang sosial, ekonomi dan alam sekitar.
Selain itu, penghasilan statistik pada masa ini tidak hanya bergantung sepenuhnya kepada banci dan tinjauan dengan izin, survey, sebaliknya turut memanfaatkan data pentadbiran, data geospatial dan sumber data baharu yang semakin berkembang. Perubahan ini memerlukan suatu kerangka perundangan yang lebih komprehensif dan fleksibel bagi membolehkan pengeluaran statistik rasmi dilaksanakan dengan lebih cekap, tepat pada masanya dan responsif kepada keperluan pengguna.
Pada masa yang sama Datuk Yang di-Pertua, peningkatan permintaan terhadap data dan statistik yang berkualiti oleh pemegang taruh menuntut agar statistik yang berkualiti, agar statistik rasmi negara dihasilkan mengikut standard yang tinggi serta selaras dengan prinsip dan amalan terbaik antarabangsa.
Keperluan ini menjadikan semakin penting dalam konteks pembuatan keputusan berasaskan bukti, pemantauan prestasi pembangunan negara serta pelaburan komitmen Malaysia di peringkat serantau dan antarabangsa.
Penggubalan Rang Undang-undang Statistik 2026 ini adalah berpandukan kepada saranan, garis panduan dan amalan terbaik antarabangsa yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), United Nations Statistical Commission
(UNSC) dan United Nations Economic Commission for Europe (UNECE). Prinsip-prinsip ini menekankan keperluan statistik rasmi yang berkualiti, berintegriti, boleh dipercayai serta disokong oleh kerangka perundangan yang mantap.
Cadangan penggubalan rang undang-undang ini turut mengambil kira pelbagai keputusan dasar kerajaan dan kajian statistik yang telah dilaksanakan sejak tahun 2016 termasuk Strategic Review of Malaysia Statistical System oleh Bank Dunia, keputusan majlis ekonomi, pengukuhan sistem statistik negara, penubuhan Majlis Statistik Negara serta aspirasi yang digariskan dalam Rancangan Malaysia Kedua Belas.
Dalam menyediakan RUU ini, sebanyak tujuh sesi libat urus telah diadakan bersama kementerian, jabatan, kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan, institusi akademik dan pemain industri dan pihak swasta, yang melibatkan seramai 510 peserta.
Maklum balas yang diterima secara umumnya menyokong usaha memperkukuhkan penyelarasan statistik negara, memperluaskan penggunaan data pentadbiran serta meningkatkan perkongsian data yang sistematik dan berkesan. RUU Statistik 2026 ini juga adalah selaras dengan kuasa berhubung perkara-perkara statistik, banci, tinjauan dengan izin, survey dan urusan berkaitan pentadbiran Kerajaan Persekutuan di bawah Butiran 12, Senarai Pertama, Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan.
Datuk Yang di-Pertua, kerangka perundangan yang dicadangkan ini bertujuan untuk memastikan pengurusan statistik rasmi negara dilaksanakan secara sistematik dan memenuhi keperluan pembangunan negara. Pengalaman negara berhadapan dengan krisis COVID-19 menunjukkan bahawa data yang lengkap, tepat dan bersepadu merupakan asas kritikal dalam menyokong proses membuat keputusan yang pantas berasaskan bukti dan bersasar.
Dalam tempoh krisis tersebut, kerajaan berdepan cabaran besar untuk mengenal pasti kumpulan sasar yang benar-benar terkesan akibat sekatan pergerakan dan gangguan rantaian bekalan, khususnya isi rumah berpendapatan rendah, pekerja sektor tidak formal serta perniagaan mikro dan kecil.
Datuk Yang di-Pertua, selain itu untuk memantau impak ekonomi dan sosial secara hampir masa nyata dan granular turut menuntut kapasiti sistem statistik negara yang lebih bersepadu. Sehubungan itu, terdapat keperluan untuk memperkukuhkan perkongsian data dan penyelarasan statistik di peringkat nasional termasuk melalui integrasi data pentadbiran antara agensi, standard statistik dan pengukuhan peranan Pejabat Statistik Negara, National Statistic Office (NSO) sebagai penyelaras utama.
Secara keseluruhannya Datuk Yang di-Pertua, Jabatan Statistik Malaysia sebagai sebuah NSO telah memperlihatkan perubahan ketara dalam penyediaan statistik rasmi melalui pendekatan digital, terbuka, responsif dan berorientasikan keperluan dasar. Kejayaannya dapat dilihat melalui pengurusan krisis, pelaksanaan banci berskala besar, pendigitalan, penyebaran data, pengukuhan sistem statistik negara, penghasilan statistik granular dan pengiktirafan antarabangsa.
Antara inisiatif berimpak tinggi yang telah dicapai ialah yang pertama, peningkatan liputan indikator Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) daripada 41 peratus, 99 indikator, kepada tahun 2018 kepada 84 peratus 205 indikator pada tahun 2024. Ini menunjukkan komitmen Malaysia dalam merealisasikan Agenda 2030 untuk mencapai keseimbangan dalam tiga dimensi pembangunan mampan iaitu sosial, ekonomi dan alam sekitar.
Datuk Yang di-Pertua, yang kedua peluasan statistik pada peringkat nasional dan negeri kepada kawasan yang lebih kecil seperti daerah pentadbiran, Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Statistik yang terperinci meliputi dimensi sosial, ekonomi dan alam sekitar dipaparkan melalui penerbitan statistik sub nasional Parlimen dan DUN. Statistik ini menjadi input dalam perancangan yang lebih bersasar membolehkan kerajaan melaksanakan penelitian pembangunan negeri yang lebih terangkum dalam memperkasakan dan merangka peruntukan kewangan negara.
Dato' Indera Mohd Shahar bin Abdullah
Yang ketiga, Bancian 2024 pula menyediakan garis dasar baharu untuk perancangan keterjaminan makanan, pembangunan agromakanan, bantuan kepada pengusaha serta pemantauan produktiviti sektor pertanian.
Datuk Yang di-Pertua, selain itu, Jabatan Statistik Malaysia sedang melaksanakan Bancian Ekonomi 2026 bagi menyediakan asas baharu untuk mengukur perubahan struktur ekonomi. Ia turut menggambarkan peranan penting data sebagai asas kesejahteraan rakyat dan pembangunan ekonomi yang inklusif bagi semua rakyat Malaysia. Penggunaan data bermula Januari hingga Oktober 2026 meliputi 1.34 juta pertubuhan ekonomi.
Sementara itu, beberapa lagi inisiatif yang akan dilaksanakan adalah yang pertama, Survei Pendapatan, Perbelanjaan Isi Rumah dan Kemudahan Asas yang akan bermula pada Januari 2027. Survey ini telah dilaksanakan sejak tahun 1957.
Pelaksanaan survey ini penting bagi menyediakan input mengenai kedudukan ekonomi dan taraf hidup isi rumah. Seterusnya, menyokong penyasaran bantuan penilaian dasar pembasmian kemiskinan, pemantauan kos sara hidup, perancangan pembangunan wilayah dan pengukuran kesejahteraan rakyat.
Yang kedua Datuk Yang di-Pertua, Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia akan dilaksanakan pada 2030 untuk mengumpul stok dan profil penduduk dan perumahan negara bagi tujuan pembangunan negara dan kepentingan rakyat pada masa hadapan. Maklumat terperinci ini juga akan digunakan untuk perancangan dan keputusan berkaitan perkhidmatan dan fasiliti awam sehingga di peringkat lokaliti.
Datuk Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, saya akan menghuraikan satu persatu kesemua 22 fasal yang terkandung dalam Rang Undang- undang Statistik 2026 ini untuk makluman Ahli-ahli Yang Berhormat. Bahagian I, permulaan. Tajuk ringkas dan permulaan kuat kuasa.
Fasal 1 mengandungi tajuk ringkas akta yang dicadangkan dan bertujuan untuk memberikan kuasa kepada Menteri untuk menetapkan tarikh bagi permulaan kuat kuasa akta yang dicadangkan. Akta ini mengikat Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.
Fasal 2 bertujuan untuk mengadakan peruntukan bahawa akta yang dicadangkan hendaklah mengikat Kerajaan Persekutuan dan negeri.
Yang ketiga, fasal ketiga mengandungi takrifan yang memberi takrif bagi perkataan dan ungkapan tertentu yang digunakan dalam akta yang dicadangkan.
Datuk Yang di-Pertua, fasal 4 bertujuan untuk mengadakan peruntukan bagi pelantikan Ketua Perangkawan, Timbalan Ketua Perangkawan dan mana-mana pegawai lain Jabatan Statistik Malaysia.
Fasal 5 bertujuan untuk mengadakan peruntukan bagi fungsi Jabatan Statistik Malaysia.
Fasal 6 bertujuan untuk membolehkan Ketua Perangkawan untuk mewakilkan kuasanya kepada mana-mana Timbalan Ketua Perangkawan atau pegawai Jabatan Statistik Malaysia.
Fasal 7 bertujuan untuk mengadakan peruntukan bagi penubuhan dan keanggotaan Majlis. Senarai anggota Majlis adalah seperti berikut:
(i) Perdana Menteri sebagai Pengerusi;
(ii) Menteri;
(iii) tidak lebih daripada lapan orang Menteri Kerajaan Persekutuan yang dilantik oleh Perdana Menteri;
(iv) Ketua Setiausaha Negara;
(v) Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam;
(vi) Ketua Setiausaha Kementerian yang dipertanggungkan dengan tanggungjawab bagi perkara yang berhubung dengan statistik; dan
(vii) Ketua Perangkawan sebagai Setiausaha.
Datuk Yang di-Pertua, fasal 8 bertujuan untuk membenarkan Majlis untuk mengundang mana-mana orang untuk menghadiri mesyuarat Majlis. Fasal ini membolehkan Majlis memanggil pakar-pakar untuk membantu menasihati Majlis mengenai apa-apa perkara yang sedang dibincangkan, tetapi pakar-pakar tersebut tidak berhak mengundi dalam mesyuarat.
Fasal 9 bertujuan untuk mengadakan peruntukan bagi fungsi Majlis.
Fasal 10 bertujuan untuk mengadakan peruntukan yang berhubung dengan mesyuarat Majlis.
Fasal 11 bertujuan untuk memberi Majlis kuasa untuk menubuhkan jawatankuasa dan untuk mengadakan peruntukan yang berhubung dengannya.
Fasal 12 bertujuan untuk memperuntukkan bahawa Ketua Perangkawan boleh dalam bentuk dan mengikut cara serta dalam tempoh yang dinyatakan dalam notis atau tempoh lanjutan yang boleh diberikan kepada Ketua Perangkawan mengarahkan mana- mana orang untuk mengemukakan apa-apa data dalam pengetahuan orang itu atau yang dia semunasabahnya boleh dapatkan.
Fasal 13 bertujuan untuk memperuntukkan bahawa Ketua Perangkawan boleh meminta apa-apa data daripada mana-mana entiti kerajaan itu melalui notis bertulis mengarahkan ketua entiti kerajaan itu untuk mengemukakan data itu.
Fasal 14 bertujuan untuk mengadakan peruntukan bagi kehendak, bagi penerbitan dan komunikasi data atau statistik. Fasal ini Datuk Yang di-Pertua, untuk memperuntukkan bahawa permohonan bagi data atau statistik boleh dibuat dalam bentuk dan melalui cara yang ditentukan oleh Ketua Perangkawan dan fi yang ditetapkan hendaklah dibayar.
Fasal 15 bertujuan untuk mengadakan peruntukan bagi kewajipan kerahsiaan berhubung dengan penzahiran data dan statistik yang diperoleh di bawah akta yang dicadangkan.
Fasal 16 bertujuan untuk mengadakan peruntukan bagi perlindungan terhadap Menteri, mana-mana anggota Majlis Statistik Negara, Ketua Perangkawan, mana-mana Timbalan Ketua Perangkawan atau pegawai Jabatan Statistik Malaysia dari guaman dan prosiding undang-undang berkenaan dengan apa-apa perbuatan, kecuaian atau keingkaran yang dilakukan atau ditinggalkan olehnya dalam menjalankan kewajipannya di bawah akta yang dicadangkan.
Fasal yang ke-17, memperkatakan tanggungan seorang pengarah, pegawai pematuhan, pekongsi, pengurus, setiausaha atau pegawai lain yang seumpamanya berkenaan dengan kesalahan yang dilakukan oleh syarikat, perkongsian liabiliti terhad, firma, pertubuhan atau kumpulan yang lain di bawah akta yang dicadangkan.
Fasal 18 bertujuan untuk memberi Menteri kuasa untuk membuat peraturan- peraturan di bawah akta yang dicadangkan.
Fasal 19 bertujuan untuk memberi Ketua Perangkawan kuasa untuk mengeluarkan Arahan Pekeliling atau garis panduan bagi maksud melaksanakan peruntukan akta yang dicadangkan. Bagi tujuan ini, garis panduan pengurusan data akan disediakan oleh Jabatan Statistik Malaysia setelah melaksanakan sesi libat urus bersama pihak berkepentingan.
Fasal 20 bertujuan untuk memperuntukkan bahawa tiada pendakwaan boleh dimulakan bagi mana-mana kesalahan di bawah akta yang dicadangkan tanpa keizinan bertulis Pendakwa Raya.
Fasal 21 bertujuan untuk mengadakan peruntukan bagi pemansuhan Akta Perangkawan 1965 [Akta 415].
Fasal 22, memperkatakan peruntukan kecualian dan peralihan.
Datuk Yang di-Pertua, Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, Rang Undang-undang Statistik 2026 yang dicadangkan merupakan satu langkah pembaharuan yang signifikan dalam memperkukuh tadbir urus sistem statistik negara secara menyeluruh. Dalam penubuhan Majlis Statistik Negara, satu platform penyelarasan yang lebih berstruktur dan wibawa dapat diwujudkan bagi memastikan pembangunan statistik dan data negara dilaksanakan secara lebih tersusun, strategik dan bersepadu.
Selain itu, RUU ini akan memperkukuhkan fungsi penyelarasan statistik negara untuk menyelaras konsep, definisi, standard, kod, kalsifikasi dan mitologi statistik yang digunakan oleh kementerian, jabatan dan agensi kerajaan. Penyelarasan yang menyeluruh ini akan memastikan statistik yang dihasilkan adalah konsisten, seragam dan boleh dibandingkan. Pada masa yang sama, ia akan meningkatkan kebolehbandingan statistik Malaysia di peringkat antarabangsa, selaras dengan piawaian dan amalan terbaik global.
Keadaan ini amat penting Datuk Yang di-Pertua, bagi tujuan penandaarasan, pemantau prestasi, analisis trend serta penilaian keberkesanan dasar dan program pembangunan negara. Penggubalan Rang Undang-undang Statistik 2026 ini juga adalah selaras dengan era pendigitalan yang menuntut pendekatan yang lebih moden dan komprehensif dalam pengurusan statistik rasmi negara.
Sehubungan dengan itu, RUU Statistik 2026 ini akan memanfaatkan penggunaan data pentadbiran dan data raya yang relevan bagi tujuan penyediaan statistik rasmi negara. Tertakluk kepada peruntukan kerahsiaan dan perlindungan yang ditetapkan. RUU Statistik 2026 ini turut memperkukuhkan perlindungan kerahsiaan data selaras dengan United Nations Fundamental Principles of Official Statistics yang mengiktiraf kerahsiaan sebagai satu prinsip teras statistik rasmi. Semua data yang diperoleh adalah bagi tujuan penghasilan statistik rasmi negara dan tertakluk kepada peruntukan undang-undang yang ketat.
Jaminan kerahsiaan ini penting Datuk Yang di-Pertua, bagi memelihara kepercayaan responden serta memastikan statistik rasmi negara terus dihasilkan secara profesional dan berintegriti. Sesungguhnya, RUU Statistik 2026 ini merupakan satu reformasi institusi yang penting dalam memperkukuhkan sistem statistik negara agar lebih berdaya tahan, berintegriti dan relevan dengan keperluan terkini. Ia akan menjadi pemangkin kepada pembudayaan penggunaan data dan statistik dalam pembuatan keputusan. Sekali gus menyokong aspirasi kerajaan untuk membangun sebuah negara yang progresif, inklusif dan berteraskan bukti dalam setiap aspek perancangan dan pelaksanaan dasar.
Dengan ini Dato’ Yang di-Pertua saya mohon mencadangkan.
Datuk Seri Prof. Emeritus Dr. Awang bin Sariyan
Ada sesiapa yang menyokong.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) - Dr. Zulkifli bin Hasan
Saya menyokong.
Datuk Seri Prof. Emeritus Dr. Awang bin Sariyan
Ahli-ahli Yang Berhormat, masalah di hadapan Majlis ialah rang undang-undang bernama satu akta untuk mengadakan peruntukan bagi fungsi Jabatan Statistik Malaysia, penubuhan Majlis Statistik Negara, perkara yang berkaitan dengan data dan statistik dan perkara lain yang berkaitan dibacakan kali yang kedua sekarang dan terbuka untuk dibahaskan.
Ahli-ahli Yang Berhormat, di hadapan saya ada seramai 18 orang ahli yang hendak berbahas. Maka, saya membuat ketetapan bahawa masa yang diberikan adalah 10 minit setiap orang.
Dengan ini saya mempersilakan Yang Berhormat Senator Dr. Hajah Wan Martina binti Wan Yusoff untuk berbahas. Silakan.
Dr. Hajah Wan Martina binti Wan Yusoff
Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih, Datuk Yang di-Pertua atas peluang yang diberikan kepada saya untuk membahas Rang Undang-undang Statistik 2026 yang bertujuan untuk menggantikan Akta Perangkaan 1965, suatu undang-undang yang telah menjadi tunjang kepada sistem statistik negara selama lebih 60 tahun.
Pada prinsipnya saya menyokong usaha kerajaan memodenkan sistem statistik negara agar sejajar dengan perkembangan teknologi digital, kecerdasan buatan (AI), analitik data raya serta keperluan dasar awam yang semakin bergantung kepada data yang tepat dan boleh dipercayai.
Sesungguhnya statistik bukan sekadar angka, statistik ialah asas kepada pembentukan dasar, perancangan pembangunan, penyediaan belanjawan, penyaluran bantuan rakyat, penentuan kadar kemiskinan, pengukuran inflasi, peluang pekerjaan dan hala tuju ekonomi negara. Oleh sebab itu, apabila kerajaan memperluaskan kuasa untuk mengumpul, menyimpan dan mengurus data rakyat, maka pada masa yang sama kita juga mesti memperkukuhkan prinsip kebebasan institusi, perlindungan privasi, ketelusan serta akauntabiliti.
Pertama, skop repositori data yang sangat luas. Datuk Yang di-Pertua, RUU ini memperkenalkan satu perubahan yang amat besar apabila Jabatan Statistik Malaysia diberikan fungsi sebagai pusat repositori data dan statistik negara yang meliputi data sosial, ekonomi, alam sekitar serta bidang-bidang lain yang berkaitan. Malah data pentadbiran daripada pelbagai kementerian dan agensi kerajaan juga boleh dikumpulkan.
Persoalannya, sejauh manakah skop ini akan berkembang pada masa hadapan?
Apakah yang dimaksudkan dengan frasa bidang-bidang lain yang berkaitan? Adakah frasa yang begitu umum ini akan membuka ruang kepada perluasan kuasa tanpa perlu mendapat kelulusan Parlimen?
Saya juga ingin bertanya kepada kementerian, bagaimanakah RUU ini diselaraskan dengan Akta Perlindungan Data Peribadi 2010? Adakah rakyat akan dimaklumkan apabila data mereka yang dikumpulkan oleh sebuah agensi kerajaan turut dikongsi dengan Jabatan Statistik Malaysia?
Dalam era digital hari ini, rakyat semakin prihatin mengenai keselamatan maklumat peribadi mereka. Oleh itu, saya ingin mengetahui apakah standard keselamatan siber yang akan digunakan? Adakah audit keselamatan siber akan diwajibkan? Berapa lamakah data akan disimpan dan bilakah data tersebut akan dipadamkan? Siapakah yang bertanggungjawab sekiranya berlaku kebocoran data?
Saya menghargai bahawa RUU ini melarang data digunakan bagi tujuan percukaian dan mengekalkan kerahsiaan identiti responden. Namun, perlindungan tersebut hendaklah disokong dengan sistem keselamatan yang benar-benar kukuh.
Kedua, kebebasan institusi statistik. Datuk Yang di-Pertua, statistik rasmi negara mestilah bebas daripada sebarang persepsi campur tangan politik. Pelabur, penyelidik dan rakyat hanya akan yakin terhadap sesuatu statistik sekiranya mereka yakin proses penyediaannya bebas, telus dan profesional. Saya mendapati Majlis Statistik Negara akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri dan hampir keseluruhan keanggotaannya terdiri daripada anggota pentadbiran kerajaan. Saya ingin bertanya mengapakah tiada wakil daripada universiti, badan profesional statistik, sektor industri, masyarakat sivil ataupun kerajaan negeri?
Di United Kingdom, statistik rasmi dipantau oleh badan bebas. Di Australia dan New Zealand pula, aspek kebebasan profesional Ketua Perangkawan diberi penekanan yang tinggi. Malaysia juga wajar bergerak ke arah yang sama. Saya ingin mendapatkan penjelasan, apakah jaminan bahawa statistik berkaitan inflasi, kemiskinan, guna tenaga, KDNK dan indikator ekonomi lain akan kekal bebas daripada sebarang pengaruh politik?
Adakah kerajaan bersedia menerima pakai United Nations Fundamental Principles of Official Statistics sebagai prinsip utama pelaksanaan akta ini?
Datuk Yang di-Pertua, ketiga, kuasa Ketua Perangkawan yang sangat luas. RUU ini memberikan kuasa kepada Ketua Perangkawan untuk mengarahkan mana-mana individu atau organisasi mengemukakan data. Saya tidak mempertikaikan keperluan kuasa tersebut namun setiap kuasa yang besar mestilah disertai dengan mekanisme semak dan imbang. Sekiranya seseorang beranggapan arahan tersebut tidak munasabah atau melibatkan data yang terlalu sensitif, kemanakah beliau boleh merayu?
Mengapakah RUU ini tidak memperuntukkan mekanisme rayuan ataupun tribunal bebas? Saya percaya prinsip keadilan menuntut supaya setiap keputusan pentadbiran boleh disemak melalui satu proses yang adil.
Keempat, perlindungan undang-undang kepada pegawai. Datuk Yang di-Pertua, saya memahami keperluan memberikan perlindungan kepada pegawai kerajaan ketika melaksanakan tugas rasmi. Namun, saya ingin mendapatkan penjelasan sekiranya berlaku kecuaian sehingga menyebabkan kebocoran data berskala besar, adakah perlindungan tersebut masih terpakai? Bagaimanakah had masa untuk mendapatkan keadilan? Adakah kementerian bercadang mewujudkan mekanisme audit bebas serta pelaporan insiden keselamatan data kepada Parlimen? Perlindungan kepada pegawai tidak seharusnya mengurangkan akauntabiliti kepada rakyat.
Kelima, ketelusan Majlis Statistik Negara. Saya mengalu-alukan penubuhan Majlis Statistik Negara. Namun, saya berharap ia tidak sekadar menjadi sebuah badan pentadbiran. Saya ingin tahu adakah laporan tahunan majlis akan dibentangkan di Parlimen? Adakah keputusan dasar dan syor utama akan diterbitkan kepada orang ramai? Ketelusan merupakan asas kepada keyakinan awam.
Keenam, kuasa membuat peraturan. Fasal 18 memberikan kuasa kepada Menteri membuat peraturan. Fasal 19 pula memberikan kuasa kepada Ketua Perangkawan mengeluarkan arahan dan garis panduan. Trend ini semakin banyak dilihat dalam pelbagai RUU kebelakangan ini. Akta menjadi semakin ringkas tetapi kuasa sebenar dipindahkan kepada peraturan subsidiari dan arahan pentadbiran. Saya ingin bertanya, adakah semua peraturan tersebut akan dibentangkan di Parlimen?
Bagaimanakah Parlimen boleh menjalankan fungsi semak dan imbang sekiranya perkara-perkara penting hanya diputuskan melalui arahan pentadbiran?
Ketujuh, kelayakan Ketua Perangkawan. Datuk Yang di-Pertua, saya ingin merakamkan penghargaan kepada kerajaan kerana menetapkan syarat akademik dan pengalaman yang tinggi bagi jawatan Ketua Perangkawan. Ini merupakan langkah yang baik. Namun, saya ingin mencadangkan supaya proses pelantikan turut melalui penelitian Jawatankuasa Pilihan Parlimen. Langkah ini akan meningkatkan keyakinan rakyat terhadap kebebasan institusi statistik negara.
Kelapan, data terbuka dan audit statistik. Saya juga mendapati RUU ini tidak memperuntukkan kewajipan penerbitan statistik utama mengikut jadual yang tetap. Di negara maju, tarikh penerbitan statistik telah ditetapkan lebih awal supaya tiada persepsi campur tangan.
Dr. Hajah Wan Martina binti Wan Yusoff
Saya ingin bertanya adakah kerajaan bercadang menetapkan jadual tetap bagi penerbitan statistik utama negara? Selain itu, adakah kerajaan bercadang memperluaskan Dasar Open Government Data supaya data yang tidak sulit dapat dimanfaatkan oleh universiti, penyelidik industri dan syarikat pemula. Pada masa yang sama, saya mencadangkan supaya diwujudkan audit bebas terhadap metodologi statistik negara bagi meningkatkan keyakinan semua pihak.
Saya juga berpandangan bahawa kadar penalti dalam RUU ini perlu dikaji semula. Dalam era data digital, satu kebocoran data boleh memberi kesan kepada jutaan rakyat. Adakah penalti yang dicadangkan benar-benar mencerminkan tahap risiko tersebut? Adakah kementerian telah membuat perbandingan dengan undang-undang negara maju atau piawaian antarabangsa sebelum menetapkan kadar penalti ini?
Dato' Yang di-Pertua, negara memerlukan sistem statistik yang moden, berintegriti dan diyakini, namun kejayaan akta ini bukan hanya bergantung kepada keupayaannya mengumpulkan lebih banyak data. Kejayaan sebenar ialah apabila rakyat yakin bahawa data mereka dilindungi, statistik negara bebas daripada campur tangan serta setiap kuasa yang diberikan tertakluk kepada semak dan imbang yang berkesan.
Sehubungan itu, saya mencadangkan kerajaan mempertimbangkan beberapa penambahbaikan:
(i) menjelaskan penyelarasan akta ini dengan Akta Perlindungan Data Peribadi 2010;
(ii) memperluaskan keanggotaan Majlis Statistik Negara dengan penyertaan akademia, badan profesional, industri, masyarakat sivil dan wakil kerajaan negeri;
(iii) mewujudkan mekanisme rayuan terhadap arahan Ketua Perangkawan;
(iv) menetapkan piawaian keselamatan siber dan audit bebas terhadap pengurusan data;
(v) mewajibkan laporan tahunan dan audit statistik dibentangkan di Parlimen;
(vi) menetapkan jadual penerbitan statistik utama negara; dan
(vii) mengguna pakai United Nations Fundamental Principles of Official Statistics sebagai panduan pelaksanaan akta ini.
Untuk akhirnya, saya membawa firman Allah SWT dalam surah Al-Hujurat ayat 6 yang membawa maksud, “Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidiklah dengan teliti.” Ayat ini mengajar kita bahawa setiap keputusan yang melibatkan kepentingan rakyat hendaklah diasaskan kepada maklumat yang benar, tepat dan boleh dipercayai. Begitu jugalah statistik negara, statistik yang berintegriti akan melahirkan dasar yang berintegriti. Semoga rang undang-undang ini benar-benar menjadi instrumen untuk memperkukuh tadbir urus negara, meningkatkan keyakinan rakyat dan menjadikan Malaysia sebuah negara yang berpandukan data yang sahih, telus dan berwibawa. Sekian, saya mohon menyokong.
Terima kasih.
Datuk Seri Prof. Emeritus Dr. Awang bin Sariyan
Terima kasih Yang Berhormat Senator Dr. Hajah Wan Martina binti Wan Yusoff yang telah memulakan lontaran, siri lontaran pertanyaan, soalan dan cadangan dan saya memberikan elaun masa lebih sedikit tadi kerana nampak padat perbahasan Yang Berhormat.
Sekarang saya dengan takzim mempersilakan Yang Berhormat Senator Dato’ Prof. Emeritus Dr. Mohammad Redzuan bin Othman menyampaikan perbahasan.
Dato' Prof. Emeritus Dr. Mohammad Redzuan bin Othman
Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera, salam Malaysia MADANI. Terima kasih Datuk Yang di-Pertua, saya bangun menyokong Rang Undang-undang Statistik 2026 kerana pada hemat saya rang undang- undang ini bukan sekadar menggantikan Akta Perangkaan tahun 1965 atau Akta 415, sebaliknya merupakan satu pembaharuan yang amat penting dalam memperkukuhkan keupayaan negara membuat keputusan berasaskan ilmu, bukti dan fakta.
Dalam era kecerdasan, artificial intelligence, big data, internet of things dan ekonomi digital, kekuatan sesebuah negara semakin bergantung kepada keupayaan mengumpul, mentafsir dan menggunakan data bagi membentuk dasar yang tepat, jitu dan berpandangan jauh.
Datuk Yang di-Pertua, hari ini kerajaan berbelanja berbilion ringgit setiap tahun untuk pendidikan, kesihatan, kebajikan, pembangunan ekonomi dan pelbagai program bagi memberikan kesejahteraan kepada rakyat. Namun begitu, setiap dasar akhirnya bergantung kepada satu persoalan yang sangat asas, iaitu adakah data yang menjadi sandaran kepada perancangan dan pelaksanaan dasar tersebut benar-benar berkualiti?
Jika data yang digunakan tidak tepat, sudah pasti dasar yang digubal tersasar dan apabila dasar tersasar rakyatlah yang akhirnya menanggung akibatnya.
Atas sebab itu, saya menyambut baik usaha kerajaan memperkukuhkan fungsi Jabatan Statistik Malaysia sebagai pusat repositori data negara serta penyelaras statistik rasmi negara. Walaupun demikian, pada pandangan saya cabaran negara pada hari ini bukan lagi kerana kekurangan data, sebaliknya negara sedang berhadapan dengan lambakan data atau data explosion, dengan izin.
Perkara yang masih kurang adalah keupayaan untuk menyatupadukan data daripada pelbagai kementerian dan agensi sehingga data yang diperoleh benar-benar menjadi intelligence yang mampu membantu kerajaan membuat keputusan secara strategik. Di sini saya berharap akta ini menjadi titik permulaan kepada pembentukan whole-of-government data governance dengan izin, yang sebenar dan menyeluruh.
Matlamatnya bukan sekadar menjadi penyimpan data tetapi menjadi data sebagai asas kepada setiap keputusan strategik kerajaan.
Datuk Yang di-Pertua, izinkan saya memetik kata-kata tokoh pengurusan moden W. Edwards Deming, “Without data...” dengan izin, “you are just a person with an opinion”. Maksudnya amat mendalam. Tanpa data, kita hanya berhujah berdasarkan andaian tetapi dengan data, kita mampu membuat keputusan berdasarkan realiti. Pada hemat saya, inilah roh sebenar Rang Undang-undang Statistik 2026.
Untuk itu izinkan saya membawa Dewan yang mulia ini melihat statistik daripada satu perspektif yang lebih luas. Pada hemat saya, statistik bukan sekadar angka.
Statistik ialah naratif yang menceritakan keadaan sebenar sesebuah negara. Di sebalik setiap angka kemiskinan, ada keluarga yang sedang bergelut mencari rezeki. Di sebalik kadar pengangguran, ada anak muda yang sedang mencari peluang untuk membina masa depan.
Di sebalik statistik kelahiran, ada keperluan kepada sekolah, hospital dan perumahan untuk generasi yang akan mencorakkan negara pada masa akan datang. Di sebalik statistik penuaan penduduk pula, terdapat cabaran kesihatan, pencen dan kebajikan yang mesti dirancang dan ditangani lebih awal bagi mengelakkan negara terbeban dengan pelbagai masalah yang mungkin timbul.
Untuk itu, apabila kita berbicara mengenai statistik, sebenarnya kita sedang bercakap mengenai kehidupan manusia. Jabatan Statistik Negara atau Malaysia bukan sekadar dikenali sebagai pengeluar statistik rasmi kerajaan, tetapi sepatutnya perlu berkembang menjadi sebuah institusi yang membantu kerajaan melihat bukan sahaja perkara yang telah berlaku tetapi apa yang bakal berlaku. Dalam erti kata lain, statistik yang baik bukan hanya merekod sejarah kerana statistik yang baik membantu membentuk masa depan.
Roh sebenar yang dikemukakan oleh keseluruhan rang undang-undang ini bukan sekadar mempunyai jumlah data yang dikumpulkan. Ia bukan semata-mata melalui teknologi digital dan ia juga bukan mengenai kuasa Ketua post Perangkawan, sebaliknya adalah mengenai kepercayaan rakyat terhadap data negara yang dikumpul dan dihebahkan kepada khalayak.
Datuk Yang di-Pertua, dalam era digital hari ini cabaran terbesar bukan lagi kekurangan maklumat tetapi krisis keyakinan terhadap maklumat. Media sosial membanjiri masyarakat dengan pelbagai angka, analisis dan dakwaan. Ada yang benar, ada yang mengelirukan, malah ada yang dihasilkan oleh kecerdasan buatan sehingga sukar dibezakan antara fakta dan rekaan. Dalam keadaan sebegini, statistik rasmi negara mesti menjadi sumber rujukan yang paling dipercayai. Rakyat memerlukan angka yang diyakini, pelabur memerlukan data yang boleh dipercayai, kerajaan pula memerlukan asas memberikan data yang bebas daripada sentimen dan kepentingan politik semasa.
Di sini saya ingin membawa Dewan kepada satu lagi persoalan yang amat penting dalam dasar iaitu bagaimana kita memastikan integriti data, kebebasan institusi statistik dan kepercayaan awam yang sentiasa terpelihara. Inilah yang akan menentukan sama ada statistik negara benar-benar menjadi asas kepada tadbir urus yang baik atau diragui kerana sekadar menjadi himpunan angka di atas kertas yang diragui ketelusan dan keabsahannya.
Datuk Yang di-Pertua, saya menyambut baik bahawa rang undang-undang ini yang memberi penekanan kepada kualiti, integriti dan keboleh kepercayaan kepada statistik rasmi negara. Namun begitu izinkan saya menyatakan satu prinsip. Integriti tidak lahir dari undang-undang semata-mata. Integriti lahir dari budaya institusi. Kita boleh mempunyai akta yang terbaik, tetapi sekiranya wujud bahawa persepsi bahawa akta boleh dipengaruhi atau disesuaikan mengikut kepentingan tertentu, keyakinan rakyat akan terhakis. Sebaliknya statistik negara hendaklah sentiasa dilihat sebagai bebas, profesional dan berintegriti.
Kerana angka yang jujur walaupun pahit jauh lebih bernilai daripada angka yang indah tetapi tidak menggambarkan realiti. Data boleh memberitahu kita apa yang sedang berlaku, tetapi hikmah akan memberitahu kita mengapa ia berlaku, dan apakah yang perlu dilakukan selepas ini. Itulah beza antara sebuah negara yang kaya dengan maklumat dengan sebuah negara yang kaya dengan kebijaksanaan.
Matlamat kita bukan sekadar menjadi sebuah data rich-nation, dengan izin, sebaliknya kita mahu membina sebuah wisdom-driven nation juga dengan izin, yang menggunakan data secara beretika, bijaksana dan berpandangan jauh. Saya percaya bahawa sekiranya rang undang-undang ini dilaksanakan sepenuhnya dengan penuh integriti, pelaksanaannya mampu menjadi salah satu batu asas kepada cita-cita besar tersebut.
Datuk Yang di-Pertua, statistik bukan sekadar merekod masa lalu tetapi mencerminkan keberkesanan-keberkesanan dasar kerajaan. Melalui data, kerajaan dapat menilai sama ada suatu dasar benar-benar mengurangkan kemiskinan, merapatkan kesenjangan dalam pendidikan dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Statistik bukan sekadar menghasilkan angka tetapi menjadi asas kepada penambah bahagian dasar awam.
Melalui statistik, setiap kementerian boleh menilai keberkesanan program, memperbaiki kelemahan dan memastikan setiap ringgit wang rakyat dibelanjakan secara berkesan. Dalam dunia yang semakin kompleks, rakyat menilai kerajaan bukan sekadar berdasarkan niat tetapi hasil yang dapat dibuktikan melalui data yang telus, konsisten dan diyakini. Sebab itulah Rang Undang-undang Statistik 2026 bukan sekadar memperkukuhkan pentadbiran statistik, malah menjadi asas kepada budaya, evidence- based policymaking iaitu setiap dasar digubal berasaskan bukti, bukan berasaskan persepsi atau andaian. Apabila budaya ini diperkukuhkan, kerajaan akan menjadi lebih cekap, rakyat menjadi lebih yakin kepada dasar awam dan dasar awam akan menjadi lebih berkesan.
Datuk Yang di-Pertua, sekiranya rang undang-undang ini diluluskan, saya berharap ia menjadi pemangkin kepada pembinaan ekosistem data nasional yang lebih bersepadu, menyeluruh dan bersedia menghadapi cabaran masa depan. Data yang berkualiti akan melahirkan dasar yang berkualiti, manakala dasar yang berkualiti akan menghasilkan pembangunan yang lebih adil, cekap dan mampan.
Justeru itu, data negara perlu diurus dalam satu ekosistem bersepadu yang merentas kementerian dan agensi demi memperkukuhkan keberkesanan tadbir urus negara. Saya percaya— saya mencadangkan supaya Malaysia membangunkan National Data Ecosystem yang berasaskan pengurusan data secara menyeluruh bagi membolehkan data merentas kementerian, agensi kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan dan diuruskan dengan menggunakan standard, definisi dan protokol yang seragam.
Matlamatnya bukan menghimpunkan semua data di satu tempat, tetapi memastikan data dapat dikongsi secara sah, selamat dan berkesan bagi menyokong pengurusan data awam. Perkara ini mampu memboleh kerajaan memberi gambaran yang lebih menyeluruh serta bertindak lebih pantas terhadap sebarang cabaran yang muncul.
Bagi menjayakan hasrat tersebut, saya berpendapat sudah tiba masanya kerajaan mempunyai pelan induk data nasional yang menjadi rujukan bersama bagi seluruh sektor awam. Pelan ini bukan sekadar menetapkan sasaran pendetilan, tetapi perlu memberikan hala tuju dan jawapan yang jelas, persoalan antara lain mengenai standard dan kualiti data, tadbir urus dan perkongsian data antara agensi, keselamatan dan perhitungan data, penggunaan kecerdasan buatan secara beretika, pembangunan bakat dalam bidang sains data dan mekanisme semakan berkala terhadap kualiti statistik rasmi negara.
Dato' Prof. Emeritus Dr. Mohammad Redzuan bin Othman
Dengan adanya pelan yang tersusun, usaha transformasi data negara tidak lagi bergantung kepada inisiatif mana-mana kementerian secara berasingan tetapi bergerak dalam satu kerangka nasional yang konsisten.
Datuk Yang di-Pertua, izinkan saya menyimpulkan rang undang-undang yang saya bahaskan ini bahawa statistik bukan sekadar matlamat tetapi statistik adalah wahana untuk mencapai keadilan. Saya akhiri perbahasan ini dengan menyatakan bahawa data yang berkualiti mampu mengukuhkan integriti institusi, membina kepercayaan rakyat dan membolehkan kerajaan menggubal dasar yang lebih tepat, adil dan berpandangan jauh.
Statistik membekalkan data, data melahirkan ilmu. Namun begitu, hanya hikmah dalam kepimpinan mampu menterjemahkan ilmu ini menjadi dasar yang adil, menjamin kesejahteraan rakyat dan membawa kepada negara maju.
Justeru itu, dengan keyakinan bahawa Rang Undang-undang Statistik 2026 ini merupakan satu langkah penting ke arah memperkukuhkan tadbir urus negara yang lebih berasaskan bukti yang lebih telus, lebih berintegriti dan selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI. Saya dengan penuh hormat menyatakan sokongan terhadap rang undang-undang ini. Terima kasih.
Datuk Seri Prof. Emeritus Dr. Awang bin Sariyan
Terima kasih Yang Berhormat Senator Dato’ Prof. Emeritus Dr. Mohammad Redzuan bin Othman. Satu sudut pandang ilmiah akademik tetapi masih tetap berpijak pada realiti.
Sekarang saya mempersilakan Yang Berhormat Senator Puan Tiew Way Keng untuk menyampaikan perbahasan. Silakan.
Puan Tiew Way Keng
Terima kasih Datuk Yang di-Pertua, terima kasih kerana membenarkan saya untuk mengambil bahagian dalam sesi perbahasan Rang Undang- undang Statistik 2026 ini. Saya berdiri untuk menyokong secara prinsip rang undang- undang ini. Namun, sokongan saya terhadap kuasa mengumpul data mestilah disertai dengan perlindungan terhadap rakyat, kebebasan profesional, ketelusan penerbitan dan mekanisme semak dan imbang yang sama kuat.
Datuk Yang di-Pertua, statistik bukan sekadar angka di atas kertas. Statistik ialah infrastruktur kebenaran sesebuah negara. Apabila statistik tepat, subsidi dapat sampai kepada golongan yang betul. Apabila statistik lengkap, sekolah dan hospital dapat dibina di tempat yang benar-benar memerlukan. Apabila statistik bebas daripada campur tangan, pelabur mempunyai keyakinan dan rakyat dapat menilai prestasi kerajaan secara adil, tetapi apabila datanya salah, tidak lengkap, lewat ataupun dipengaruhi kepentingan tertentu, dasar yang kelihatan baik di Putrajaya boleh menjadi dasar yang gagal di lapangan.
RUU ini menggantikan Akta Perangkaan 1965 yang berusia lebih enam dekad.
Ia menjadikan Jabatan Statistik Malaysia sebagai pusat repositori data dan statistik, memberikan fungsi menyelaras standard serta metodologi dan meletakkan tanggungjawab untuk memastikan kualiti, integriti serta kebolehpercayaan statistik rasmi negara. Ini merupakan pembaharuan yang wajar dan sudah lama diperlukan.
Namun Datuk Yang di-Pertua, undang-undang statistik yang moden bukan hanya undang-undang yang memberikan lebih banyak kuasa untuk mendapatkan data. Ia mestilah undang-undang yang memberikan lebih banyak sebab kepada rakyat untuk mempercayai data tersebut.
Pertamanya, kebebasan profesional Ketua Perangkawan. Saya mengalu-alukan fasal 4 yang menetapkan kelayakan akademik dan sekurang-kurangnya 20 tahun pengalaman bagi Ketua Perangkawan. Namun RUU ini tidak memperuntukkan dengan jelas tentang tempoh jawatan Ketua Perangkawan, alasan khusus bagi penamatan jawatan, proses pemilihan yang telus dan kebebasan profesional dalam menentukan metodologi kandungan serta masa penerbitan statistik.
Ini bukan persoalan sama ada kita mempercayai individu yang memegang jawatan tersebut. Hari ini, undang-undang yang baik tidak dibina hanya untuk individu yang baik. Undang-undang yang baik dibina untuk memastikan institusi kekal berintegriti tanpa mengira siapakah yang memerintah pada masa hadapan.
United Kingdom mempunyai UK Statistics Authority, sebuah badan berkanun bebas yang beroperasi pada jarak selamat daripada kerajaan dan bertanggungjawab secara langsung kepada Parlimen. Ia turut memisahkan fungsi menghasilkan statistik daripada fungsi mengawal selia dan menilai statistik.
Di Kanada pula, Ketua Perangkawan dilantik bagi tempoh tidak melebihi lima tahun, memegang jawatan selagi berkelakuan baik dan hanya boleh disingkirkan atas sebab yang sah. Undang-undangnya juga memberikan Ketua Perangkawan kuasa menentukan kaedah dan prosedur berdasarkan standard profesional yang statistik.
New Zealand pula, memperuntukkan secara nyata kebebasan Government Statistician dalam memilih sumber data, konsep, definisi, metodologi dan klasifikasi statistik. Justeru, saya meminta kerajaan memberikan jaminan bahawa kebebasan profesional Ketua Perangkawan akan dinyatakan secara jelas, sama ada melalui pindaan ataupun melalui peraturan dan kod amalan yang akan mengikat. Ketua Perangkawan mesti mempunyai keberanian institusi untuk berkata, “angka ini tak tepat walaupun tidak menyenangkan kerajaan” dan juga berkata, “kenyataan ini salah” walaupun dibuat oleh seorang Menteri.
Keduanya, Majlis Statistik Negara jangan menjadi majlis kerajaan semata-mata.
Fasal 7 menubuhkan Majlis Statistik Negara yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri dan dianggotai oleh Menteri sehingga lapan orang Menteri Persekutuan, Ketua Setiausaha Negara, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam serta Ketua Perangkawan.
Pada hemat saya, komposisi ini terlalu tertumpu kepada cabang Eksekutif.
Walaupun Majlis boleh mengundangkan pakar, orang yang diundang tidak mempunyai hak mengundi. Malaysia ialah sebuah Kerajaan Persekutuan. RUU ini sendiri mengikat Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri, tetapi tidak ada jaminan perwakilan tetap kerajaan negeri termasuk Sabah dan Sarawak dalam Majlis tersebut.
Puan Tiew Way Keng
Saya mencadangkan agar Majlis ini turut mempunyai wakil tetap atau wakil bergilir daripada kerajaan negeri, universiti, pakar statistik bebas, sektor industri, masyarakat sivil dan pakar keselamatan data. Minit keputusan dasar statistik yang diluluskan dan laporan prestasi tahunan Majlis juga hendaklah dibentangkan kepada Parlimen. Majlis yang mengawal arah statistik negara tidak boleh menjadi sebuah kotak hitam.
Ketiganya, kalendar penerbitan dan akses serentak. Fasal 14 menetapkan bahawa penerbitan data memerlukan kelulusan terdahulu Ketua Perangkawan dan hendaklah dibuat pada masa yang ditentukan olehnya tetapi RUU ini tidak mewajibkan kalendar penerbitan tahunan, akses serentak kepada kerajaan, pembangkang, media, penyelidik dan rakyat.
Pendedahan pihak yang mendapat akses awal, dasar pembetulan kesilapan ataupun penjelasan apabila penerbitan ditangguhkan. United Kingdom menghendaki tarikh dan masa penerbitan diumumkan terlebih dahulu melalui kalendar 12 bulan.
Sebarang perubahan perlu dijelaskan dan akses sebelum penerbitan hendaklah dihadkan serta direkodkan. Prinsip asas statistik rasmi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pula menegaskan bahawa statistik rasmi hendaklah diterbitkan secara tidak berat sebelah dan diberikan kepada semua pengguna melalui akses yang sama.
Justeru, saya mencadangkan satu piagam penerbitan statistik nasional yang mewajibkan kalendar penerbitan, akses serentak, metodologi terbuka, rekod pindaan serta pembetulan yang pantas dan telus. Jangan sampai angka pengangguran, kemiskinan atau pertumbuhan ekonomi diketahui terlebih dahulu oleh pihak tertentu sebelum rakyat dan pasaran menerimanya secara serentak.
Keempat, kuasa mengumpul data mesti seimbang dengan perlindungan rakyat.
Fasal 12 memberikan Ketua Perangkawan kuasa mengarahkan mana-mana orang mengemukakan apa-apa data yang berada dalam pengetahuannya atau yang semunasabahnya boleh diperoleh.
Kegagalan memastikan data itu benar, tepat dan lengkap boleh membawa denda sehingga RM50,000 serta denda tambahan sehingga RM2,000 sehari. Kuasa ini sangat luas. Apakah perlindungan terhadap arahan yang terlalu membebankan perusahaan mikro dan kecil? Adakah penerima notis boleh memohon semakan? Siapakah yang menentukan bahawa sesuatu data itu semunasabahnya boleh diperoleh? Adakah prinsip pengadilan atau data minimisation akan digunakan supaya kerajaan hanya mengumpul data yang benar-benar diperlukan?
Lebih penting, secara factual, fasal 15 menyebut, ‘Timbalan Ketua Perangkawan dan pegawai jabatan dalam kewajipan kerahsiaan’, tetapi tidak menyebut dengan jelas Menteri, anggota Majlis, orang yang diundang, kontraktor teknologi dan pemproses data pihak ketiga. Ini mesti diperjelaskan. Prinsip PBB menetapkan bahawa data individu sama ada melibatkan manusia atau syarikat hendaklah dirahsiakan dengan ketat dan digunakan semata-mata bagi tujuan statistik.
Saya mencadangkan supaya kerajaan mewajibkan penilaian impak privasi, audit keselamatan siber berkala, rekod, akses data, penyulitan, pemberitahuan insiden serta penalti yang setimpal terhadap mana-mana pihak yang menyalahgunakan atau membocorkan data.
Fasal 16 pula memberikan pelindungan daripada tindakan undang-undang kecuali dapat dibuktikan perbuatan itu dilakukan dengan niat jahat dan tanpa sebab munasabah. Ambang ini amat tinggi. Perlindungan untuk pegawai yang bertindak dengan suci hati adalah munasabah tetapi perlindungan tidak boleh menjadikan kekebalan terhadap kecuaian serius, kelemahan keselamatan atau pengendalian data secara melulu.
Kelima, jangan hanya melaporkan purata sehingga realiti rakyat hilang. Data terkini menunjukkan ekonomi Malaysia dianggarkan berkembang 5.8 peratus pada suku kedua 2026. Kadar pengangguran pada Mei ialah tiga peratus, manakala inflasi pada Jun ialah 1.9 peratus. Namun, dalam angka inflasi yang sama, insurans dan perkhidmatan kewangan meningkat 5.7 peratus dan restoran serta penginapan meningkat 2.6 peratus.
Pada masa yang sama, terdapat kira-kira 3.15 juta pekerja bekerja sendiri. Angka utama mungkin kelihatan baik, tetapi purata nasional boleh menyembunyikan tekanan sebenar yang ditanggung keluarga. Seorang ibu tunggal hidup dalam purata nasional, seorang pekerja gig tidak membayar sewa rumah dengan angka pertumbuhan KDNK, seorang warga emas tidak membeli ubat berdasarkan kadar inflasi keseluruhan. Kita memerlukan statistik yang lebih granular mengikut negeri, daerah, jantina, umur, ketidakupayaan, julat pendapatan dan status pekerjaan, kos kehidupan sebenar.
Selangor misalnya mencatatkan pertumbuhan ekonomi enam peratus pada tahun 2025, melebihi kadar nasional. Kadar penganggurannya pada suku pertama 2026 juga sekitar dua peratus. Namun angka tersebut perlu dibaca bersama kos perumahan, masa perjalanan, kos penjagaan anak, kesesakan, banjir bandar, gaji median dan ketidaksamaan antara daerah.
Saya mencadangkan DOSM membangunkan indeks kos kehidupan bandar dan daerah bukan sekadar indeks harta nasional. Kita juga memerlukan ukuran pendapatan yang boleh guna, selepas ditolak perumahan, pengangkutan, penjagaan anak dan kesihatan. Matlamat statistik bukan untuk membuktikan bahawa kerajaan betul.
Matlamat statistik adalah untuk menunjukkan di mana rakyat masih memerlukan bantuan.
Keenam, kuasa membuat peraturan dan kos pelaksanaan. Fasal 18 membolehkan Menteri membuat peraturan, termasuk mewujudkan kesalahan yang boleh membawa hukuman penjara sehingga 12 bulan bagi seseorang individu. Pada pandangan saya, kesalahan yang membawa hukuman penjara tidak sewajarnya diwujudkan secara terlalu luas melalui undang-undang subsidiari tanpa penelitian Parlimen. Saya meminta supaya peraturan sedemikian dibentangkan di Parlimen dan tertakluk kepada mekanisme semakan yang bermakna.
Huraian rang undang-undang turut menyatakan bahawa pelaksanaannya hanya melibatkan perbelanjaan tambahan kerajaan, tetapi amaunnya masih belum dapat ditentukan. Maka kerajaan perlu menjelaskan kos pembangunan repositori data, keselamatan siber, pengambilan pakar sains data, latihan kakitangan, penyelarasan dengan kerajaan negeri serta audit bebas. Jangan kita membina sebuah gudang data yang besar tetapi tidak menyediakan kunci keselamatan yang cukup kukuh.
Datuk Yang di-Pertua, sebagai kesimpulan, saya menyokong usaha memodenkan sistem statistik negara, namun saya meminta kerajaan memberikan enam jaminan iaitu:
(i) kebebasan profesional Ketua Perangkawan;
(ii) Majlis Statistik Negara yang lebih inklusif;
(iii) kalendar penerbitan dan akses serentak;
(iv) perlindungan data dan keselamatan siber yang tegas;
(v) statistik granular yang mencerminkan kehidupan sebenar rakyat; dan
(vi) akauntabiliti terhadap Parlimen.
Data memberikan kuasa. Oleh itu, undang-undang yang memberikan kuasa terhadap data mestilah turut memberikan perlindungan terhadap rakyat. Hari ini ialah hari terakhir persidangan Dewan Negara bagi Mesyuarat kali ini. Namun, hari terakhir persidangan bukanlah hari terakhir amanah kita. Kita mungkin meninggalkan Dewan ini selepas persidangan ditangguhkan, tetapi tanggungjawab untuk memastikan setiap undang-undang benar-benar menjadi kepentingan rakyat tidak pernah ditangguhkan.
Izinkan saya mengakhiri perbahasan dengan serangkap pantun.
Burung merpati terbang sekawan, Singgah berteduh di pohon sena; Sidang berakhir teruskan perjuangan, Data berintegriti rakyat terbela. Sekian, saya memohon untuk menyokong rang undang-undang ini. Sekian, terima kasih.
Datuk Seri Prof. Emeritus Dr. Awang bin Sariyan
Terima kasih Yang Berhormat Senator Puan Tiew Way Keng yang tak pernah lekang dengan pantun.
Mungkin kita boleh isytiharkan sebagai Senator Pantun, pemantun. Terima kasih.
Pembahas seterusnya Yang Berhormat Senator Tuan Haji Hussin ada mesyuarat, jadi beliau mohon izin untuk menangguhkan perbahasan ke sesi petang.
Jadi, saya dengan ini mempersilakan Senator Puan Hajah Norhasmimi binti Abdul Ghani. Silakan.
Puan Hajah Norhasmimi binti Abdul Ghani
*Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh* dan salam sejahtera. Terima kasih Datuk Yang di-Pertua kerana mengizinkan saya turut mengambil bahagian bagi membahaskan Rang Undang-undang Statistik 2026. Data merupakan aset strategik negara. Negara yang mempunyai sistem statistik yang kukuh akan mampu merancang pembangunan dengan lebih tepat, memperuntukkan sumber secara lebih berkesan dan menggubal dasar yang benar-benar menyelesaikan masalah rakyat.
Atas asas itu, saya melihat rang undang-undang ini sebagai satu pembaharuan yang amat signifikan kerana ia bukan sekadar memansuhkan Akta Perangkaan 1965, bahkan mewujudkan satu kerangka perundangan yang lebih moden bagi memperkukuhkan fungsi Jabatan Statistik Malaysia.
Datuk Yang di-Pertua, fasal 5 memperuntukkan bahawa antara fungsi utama Jabatan Statistik Malaysia ialah sebagai pusat repositori data negara serta badan yang bertanggungjawab mengumpul, menyelaras, menganalisis dan menyebarkan statistik rasmi negara. Dengan fungsi ini yang pertama, statistik akan dapat membantu kerajaan menghasilkan dasar yang lebih tersasar.
Puan Hajah Norhasmimi binti Abdul Ghani
Sebagai contoh, pelaksanaan subsidi bersasar, Sumbangan Tunai Rahmah, Program BUDI MADANI, pembinaan hospital, sekolah baru, rumah mampu milik, pengangkutan awam, bahkan perancangan pembangunan wilayah semuanya memerlukan statistik yang tepat kerana statistik tepat akan benar-benar menggambarkan keadaan rakyat. Bantuan kerajaan akan sampai kepada golongan yang benar-benar memerlukan dan setiap wang ringgit rakyat dapat dibelanjakan dengan lebih cekap.
Yang kedua, statistik membantu kerajaan bertindak sebelum sesuatu krisis berlaku. Statistik juga memberi amaran awal terhadap apa yang bakal berlaku. Sebagai contoh, melalui analisis data, kerajaan mampu mengenal pasti trend penuaan penduduk, penurunan kadar kelahiran, peningkatan kos sara hidup, migrasi penduduk luar bandar, pengangguran belia dan juga perubahan struktur ekonomi. Maklumat seperti ini membolehkan kerajaan merangka dasar lebih awal sebelum sesuatu isu bertukar menjadi krisis nasional.
Yang ketiga, statistik juga mampu membantu negara meningkatkan pelaburan.
Pelabur antarabangsa tidak membuat keputusan berdasarkan persepsi. Mereka melihat statistik rasmi sesebuah negara seperti kadar inflasi, kadar pengangguran, produktiviti tenaga kerja, perdagangan antarabangsa dan juga pertumbuhan ekonomi. Semakin tinggi integriti statistik sesebuah negara, semakin tinggi keyakinan pelabur terhadap kestabilan ekonomi negara tersebut. Oleh itu, memperkukuhkan sistem statistik negara sebenarnya turut memperkukuhkan daya saing ekonomi Malaysia.
Yang keempat, standard statistik yang seragam meningkatkan keberkesanan pentadbiran negara. Saya juga menyambut baik fungsi Jabatan Statistik Malaysia untuk membangunkan serta menetapkan standard dan tatacara statistik bagi semua entiti kerajaan yang diperuntukkan dalam seksyen 5 (1)(d). Sering kali kita mendengar angka yang berbeza antara kementerian atau agensi bagi isu yang sama kerana menggunakan definisi dan juga metodologi yang berbeza.
Sebagai contoh, statistik kemiskinan yang digunakan oleh satu agensi mungkin berdasarkan pendapatan garis kemiskinan (PGK) manakala agensi lain pula menggunakan senarai penerima bantuan kebajikan atau data eKasih. Akibatnya, bilangan isi rumah miskin yang dilaporkan boleh berbeza walaupun merujuk kepada kumpulan sasaran yang hampir sama.
Oleh yang demikian, RUU ini membuka ruang kepada penyelarasan definisi dan standard statistik supaya semua kementerian bercakap menggunakan bahasa data yang sama. Ini akan meningkatkan ketepatan dasar dan mengelakkan percanggahan maklumat yang boleh mengelirukan rakyat.
Datuk Yang di-Pertua, walau bagaimanapun, terdapat beberapa perkara yang saya fikir wajar diberi perhatian. Yang pertama, komposisi Majlis Statistik Negara yang perlu lebih inklusif yang telah pun diperkatakan oleh rakan-rakan sahabat Senator saya yang lain.
Fasal 7 menubuhkan Majlis Statistik Negara yang dipengerusikan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dan dianggotai oleh Menteri-menteri serta pegawai kanan kerajaan. Saya menghargai hasrat kerajaan meletakkan statistik sebagai agenda nasional. Namun demikian, saya berpandangan bahawa Majlis ini akan menjadi lebih kukuh sekiranya turut melibatkan pakar statistik atau wakil Malaysia Statistical Institute, ahli akademik, saintis data, wakil industri digital dan institusi penyelidikan yang turut menjadi ahli tetap.
Dicadangkan juga supaya wakil kerajaan negeri sebagai anggota tetap Majlis supaya data di peringkat negeri juga diberi perhatian. Statistik bukan lagi milik kerajaan semata-mata. Ia merupakan ekosistem yang melibatkan akademia, sektor swasta dan masyarakat. Penglibatan mereka akan memperkayakan perspektif serta meningkatkan kredibiliti Majlis.
Yang kedua, kebebasan statistik perlu dijamin secara jelas juga telah pun diperkatakan. Datuk Yang di-Pertua, perkara yang paling penting dalam mana-mana sistem statistik ialah kebebasan profesional. RUU ini memperincikan fungsi Ketua Perangkawan namun tiada peruntukan jelas memberi jaminan bahawa statistik rasmi mestilah bebas daripada sebarang campur tangan politik atau kepentingan pihak tertentu. Ini penting kerana statistik negara bukan sahaja digunakan oleh kerajaan malah menjadi rujukan pelabur, penyelidik, institusi kewangan dan masyarakat antarabangsa.
Justeru, saya mencadangkan supaya dimasukkan satu prinsip bahawa Ketua Perangkawan hendaklah menjalankan fungsi secara profesional, bebas dan berasaskan prinsip statistik rasmi yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.
Yang ketiga, jadual penerbitan statistik perlu lebih telus. Fasal 14 memperuntukkan bahawa penerbitan statistik hendaklah mendapat kelulusan Ketua Perangkawan dan diterbitkan pada masa yang ditentukan olehnya. Peruntukan ini tidak menentukan had masa atau garis masa penerbitan dan boleh menimbulkan persepsi bahawa statistik boleh ditangguh-tangguhkan. Maka, dicadangkan agar kerajaan menetapkan jadual penerbitan statistik secara tetap dan terbuka mengikut tahap kerumitan penyediaan data.
Yang keempat, era kecerdasan buatan memerlukan dimensi baharu dalam statistik negara. Data kini sedang memasuki era artificial intelligence, big data dan analitik masa nyata. Namun, RUU ini masih belum menyentuh aspek tadbir urus data digital. Penggunaan AI dalam pemprosesan statistik ataupun prinsip etika dalam penggunaan teknologi tersebut. Saya berpandangan dengan peruntukan seksyen 18, Menteri boleh membuat peraturan dan garis panduan mengenai penggunaan AI dalam penghasilan statistik rasmi agar Malaysia sentiasa bersedia menghadapi perubahan teknologi pada masa hadapan.
Yang kelima, memperkukuhkan perkongsian data antara entiti kerajaan melalui prinsip timbal balik ataupun perkongsian dua hala ataupun data reciprocity.
Memandangkan seksyen 13 memberi kuasa kepada Ketua Perangkawan untuk mendapatkan data daripada entiti kerajaan termasuk kerajaan negeri dan pelbagai agensi kerajaan, namun peruntukan ini hanya fokus kepada kuasa meminta data tetapi tidak menyatakan hak perkongsian semula kepada pembekal data.
Maka dicadangkan satu peruntukan seksyen 18, kerajaan perlu mewujudkan mekanisme ataupun peraturan data reciprocity iaitu memastikan hasil analisis atau data statistik yang telah diproses dikongsikan semula kepada pihak yang membekalkan data supaya mereka turut mendapat manfaat dalam merangka dasar dan perancangan pembangunan di peringkat negeri serta agensi. Ini akan menggalakkan kerjasama yang lebih erat antara kerajaan dan entiti kerajaan yang lain.
Selain itu, berhubung isu perkongsian data yang juga kerahsiaan data individu.
Kerajaan perlu memperincikan kategori pengguna data yang mempunyai tahap akses yang berbeza mengikut fungsi dan keperluan masing-masing. Dengan adanya kategori pengguna yang jelas, kerajaan bukan sahaja dapat memperuntukkan tadbir urus, kerahsiaan data individu juga dapat dipertahankan malah meningkatkan keyakinan pembekal data dan kepercayaan rakyat terhadap sistem statistik negara.
Datuk Yang di-Pertua, rang undang-undang ini bukan sekadar memperkukuhkan Jabatan Statistik Malaysia tetapi menjadi asas kepada pembentukan sebuah kerajaan yang membuat keputusan berdasarkan bukti melalui fakta dan juga statistik, bukan persepsi.
Saya menyokong Rang Undang-undang Statistik 2026 ini kerana saya percaya bahawa negara yang memiliki sistem statistik yang kukuh akan mempunyai dasar yang lebih tepat, pentadbiran yang lebih cekap dan pembangunan yang lebih adil kepada seluruh rakyat. Dengan ini, saya mohon menyokong. Terima kasih, Datuk Yang di- Pertua.
Datuk Seri Prof. Emeritus Dr. Awang bin Sariyan
Terima kasih, Yang Berhormat Puan Hajah Norhasmimi binti Abdul Ghani, dan sekarang dengan hormatnya saya mempersilakan Yang Berhormat Senator Tuan Pele Peter Tinggom. Silakan.
Tuan Pele Peter Tinggom
Terima kasih, Datuk Yang di-Pertua kerana memberi saya peluang untuk sama-sama membahaskan Rang Undang-undang Statistik 2026.
Datuk Yang di-Pertua, teknologi dan sistem maklumat telah berubah terlalu pantas, tetapi akta yang sedia ada sudah ketinggalan dan seperti yang telah diperjelaskan oleh Yang Berhormat Timbalan Menteri tadi, sudah menjangkau umur 61 tahun. Justeru, Rang Undang-undang Statistik 2026 ini digubal bertujuan untuk menggantikan Akta Perangkaan 1965 [Akta 415] bagi memodenkan sistem pengumpulan data negara melalui Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dengan izin, better late than never. Syabas dan tahniah kepada kerajaan, kepada Yang Berhormat Timbalan Menteri yang membentangkan rang undang-undang ini.
Rang Undang-undang Statistik 2026 ini nanti setelah diluluskan, diharap dapat menyelesaikan masalah data, berada dalam silo dengan menyelaraskan pengumpulan dan penerbitan maklumat merentas kementerian, agensi kerajaan dan sektor swasta supaya sistem yang ada nanti adalah bersepadu dan lebih terkini.
Tuan Pele Peter Tinggom
Ini jelas dan diterangkan melalui fungsi Majlis di bawah fasal 9 dan kuasa Jabatan Perangkaan di bawah fasal 12, fasal 13 dan fasal 14 seperti yang diperuntukkan di bawah Rang Undang-undang Statistik 2026 ini.
Datuk Yang di-Pertua, di sebalik kelebihan dan kebaikan Rang Undang-undang Statistik 2026 yang diperjelaskan oleh Yang Berhormat Timbalan Menteri tadi, saya memohon kerajaan mengambil maklum juga berkenaan dengan perkara-perkara yang saya ingin utarakan sebentar lagi.
Datuk Yang di-Pertua, Rang Undang-undang Statistik 2026 ini juga membolehkan perwujudan sebuah badan penasihat tertinggi untuk memacu penggubalan dasar negara berteraskan bukti fakta yang lebih tepat melalui Majlis Statistik Negara yang ditubuhkan. Ini telah diperjelaskan di bawah fasal 10 dan fasal 11 rang undang-undang ini. Saya memohon seperti rakan yang telah berbahas tadi supaya wakil daripada Sarawak dan Sabah dan profesional dimasukkan sama di dalam Majlis ini nanti.
Datuk Yang di-Pertua dan Yang Berhormat Timbalan Menteri, setelah akta ini diluluskan nanti, adakah kerajaan mengehendaki pihak industri terutamanya perusahaan mikro, kecil dan sederhana, mengubah suai sistem mereka bagi memenuhi standard format yang baru yang mungkin dikuatkuasakan? Ini mungkin menambah kos operasi dan kekangan teknikal. Kekhuatiran yang saya maksudkan ini nanti apabila fasal 12(1) dikuatkuasakan kerana fasal 12(1) memberi kuasa yang penuh kepada Ketua Perangkaan.
Seperti di bawah fasal ini telah menyebutkan di mana Ketua Perangkawan boleh memberi notis secara bertulis mengarahkan mana-mana orang— kata kunci sini adalah dia menyuruh mana-mana orang tidak mengira siapa dan untuk mengemukakan data dalam pengetahuan orang itu atau yang semunasabahnya orang itu boleh dapat dalam bentuk dan mengikut cara dan tempoh sebagai mana yang dinyatakan dalam notis atau tempoh lanjutan yang dibenarkan oleh Ketua Perangkawan. Kerana kuasa ini amat besar dan menyeluruh, so saya mohon penjelasan bagaimana sekiranya kuasa ini akan membebankan pihak PMKS di negara ini.?
Seterusnya, berkenaan dengan notis pelaksanaan di bawah fasal 12(1) ini juga.
Datuk Yang di-Pertua, janganlah kerajaan tidak belajar daripada kesilapan yang terdahulu seperti Sistem PADU di mana notis diberi dalam masa yang singkat untuk dilaksanakan tanpa libat urus secara menyeluruh kepada industri, rakyat dan kerajaan negeri.
Sebagai contoh pada masa Sistem PADU dilaksanakan, Kerajaan Sarawak telah meminta Sistem PADU untuk tidak dilaksanakan di Sarawak terlebih dahulu sebelum beberapa perkara diperbetulkan berkenaan dengan pengumpulan data tersebut.
Datuk Yang di-Pertua, saya memohon kepada kerajaan juga, di mana Rang Undang-undang Statistik 2026 ini sekiranya diluluskan nanti, adakah DOSM mengambil berat tafsiran umum seperti kategori bumiputera supaya dipecahkan secara spesifik mengikut etnik peribumi seperti yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan dan Interpretation Acts dengan izin, khususnya bagi etnik di Sarawak dan Sabah. Kerana semua etnik peribumi Sabah dan Sarawak mempunyai taraf sosioekonomi dan kos sara hidup yang tidak sama disebabkan oleh geografi, pembangunan infrastruktur di pedalaman yang berbeza dan faktor-faktor sosioekonomi yang lain yang berkaitan.
Saya juga cadangkan supaya kerajaan menerbitkan statistik indeks harga dan kos sara hidup mengikut pecahan bahagian dan daerah, bukan sahaja sekadar produk purata negeri bagi menambahkan realiti sebenar kawasan pedalaman di seluruh negara khususnya di Sabah dan Sarawak.
Datuk Yang di-Pertua, dengan diluluskan Rang Undang-undang Statistik 2026 ini nanti akan mengurangkan kebergantungan kepada kaedah bancian tradisional seperti yang dimaksudkan yang telah diperjelaskan oleh Yang Berhormat Timbalan Menteri tadi. Ini saya memang setuju kerana saya masih ingat semasa masih di bangku sekolah 30-40 tahun yang lalu, kerajaan akan menggunakan tenaga kerja penjawat awam yang sedia ada di pejabat daerah di pelosok kawasan pedalaman dan pekerja sambilan yang dibayar gaji harian untuk pergi ke rumah-rumah untuk mendapatkan data.
Dan proses ini mengambil masa satu atau dua tahun lamanya dan maklumat seperti yang disasarkan kemungkinan tidak tepat seperti yang disasarkan kerana mengikut pengalaman saya pihak pegawai banci akan datang ke rumah panjang, ke rumah-rumah individu dan menanya berapakah jumlah isi rumah tanpa bukti, tanpa surat. So, dengan adanya akta ini nanti, sekiranya telah diluluskan, ini akan memperhalusi data-data supaya data tersebut adalah relevan dan diguna pakai oleh mana-mana pihak terutamanya pihak kerajaan sendiri.
Datuk Yang di-Pertua, sebagai penutup perbahasa saya bagi RUU ini, saya memohon supaya kerajaan mempertimbangkan penambahbaikan dan cadangan yang saya perjelaskan tadi dan hujah-hujah bernas daripada 18 Ahli-ahli Yang Berhormat pada hari ini yang membahaskan rang undang-undang ini.
Dan saya rasa tidak ada masalah bagi kerajaan sekiranya hujah-hujah yang bernas tersebut diambil, dibuat penambahbaikan melalui kuasa yang diberikan di bawah fasal 18, iaitu kuasa untuk membuat peraturan-peraturan dan juga di bawah fasal 19 di mana kuasa untuk mengeluarkan arahan pekeliling dan garis panduan yang berkaitan.
Dengan itu Datuk Yang di-Pertua, saya mohon menyokong.
Datuk Seri Prof. Emeritus Dr. Awang bin Sariyan
Terima kasih Yang Berhormat Senator Tuan Pele Peter Tinggom. Saya kira tepat 10 minit, hampir-hampir 10 minit.
Sekarang saya dengan hormatnya mempersilakan Yang Berhormat Senator Tuan Haji Musoddak bin Ahmad. Silakan.
Tuan Haji Musoddak bin Ahmad
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih yang Tuan Yang di-Pertua kerana memberi saya peluang juga untuk membahaskan RUU Statistik 2026 kali ini. Ia merupakan satu pembaharuan yang positif dalam meningkatkan kualiti tadbir urus negara terutamanya menjadikan Malaysia setanding dengan negara-negara maju yang lain.
Tuan Yang di-Pertua, akta sebelum ini iaitu Akta Perangkaan 1965 atau Akta 415 telah pun berkuat kuasa lebih 60 tahun. Perubahan ini penting bagi menjadikan institusi statistik terus langkah ke hadapan dengan lebih maju dan berkesan terutamanya dalam memperuntukkan fungsi Jabatan Statistik Malaysia, penubuhan Majlis Statistik Negara, pengumpulan, penerbitan dan komunikasi data termasuk hal-hal lain yang berkaitan dengan perihal statistik ini.
Ada beberapa isu yang pada pandangan saya wajar diberi dan diambil perhatian oleh Ahli Dewan juga kementerian, ada yang berkaitan fasal 5, fasal 12 dan fasal 15 yang saya akan bangkitkan dalam isu ini.
Tuan Haji Musoddak bin Ahmad
Pertama yang ingin saya bangkitkan dalam Dewan yang mulia ini adalah berikutan fasal 5 iaitu fungsi Jabatan Statistik Malaysia. Fasal 5(1)(a) telah memperuntukkan bahawa Jabatan Statistik Malaysia akan dijadikan sebagai pusat repositori bagi data dan statistik. Peruntukan ini sangat besar iaitu bagi menjadikan Jabatan Statistik Malaysia sebagai sebuah badan berintegriti dan dipercayai terutamanya terhadap kajian-kajian dan data-data berkaitan dengan kerajaan.
Kepercayaan ini merupakan satu langkah penting dalam memastikan setiap dasar-dasar kerajaan tidak dipengaruhi oleh unsur-unsur luar ataupun pihak-pihak luar yang berniat jahat, memanipulasi data ini.
Sebagai contoh, apa yang berlaku pada bulan Jun tahun ini, apabila Nor Azizah yang juga merupakan aktivis Rohingya telah mendakwa lebih 2,000 kanak-kanak Rohingya ditempatkan di pusat tahanan imigresen dan terpaksa membesar dalam tahanan. Ini merupakan satu dakwaan yang tidak berasas, dalam masa yang sama menjejaskan dan mencemar maruah dan kedaulatan negara kita.
Sebab itu apa yang saya sebut tadi, perkara ini perlu dielak secepat mungkin terutamanya bagi orang yang berniat jahat memburukkan negara kita. Saya tidak pasti rujukan mana yang dia dapat dan dia petik ini. Bagi memastikan perkara ini tidak berlaku lagi, statistik-statistik yang dikeluarkan nanti perlu lebih jelas dan mudah diakses oleh seluruh dunia, terutamanya statistik yang bukan rahsia dan statistik yang boleh menaikkan imej negara kita.
Seterusnya Datuk Yang di-Pertua, berkaitan fasal 5(1)(d) iaitu untuk membangunkan dan menetapkan standard dan tatacara statistik. Statistik memainkan peranan yang begitu besar dalam sebuah negara. Di sinilah dasar-dasar negara dibentuk, naratif kerajaan dicipta dalam masa yang sama mempengaruhi banyak perkara dari aspek ekonomi, pelaburan, kesejahteraan rakyat dan sebagainya.
Disebabkan perkara ini penting dan besar, statistik perlu didasari dengan asas kejujuran— perlu berdiri pada asas kebenaran dan perlu dielak daripada manipulasi dan menjadikan perkara ini batil. Hal ini dilarang oleh agama Islam. Jika tidak disandarkan kepada hab, kita risau negara ini akan musnah akibat ketidakjujuran.
Datuk Yang di-Pertua, pada 29 April 2026, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri telah menyatakan miskin tegar di Selangor telah dinoktahkan. Namun, perkara ini menzahirkan kebimbangan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor terhadap kenyataan tersebut. Berdasarkan rekod Lembaga Zakat Selangor, masih ada lagi 14,000 keluarga fakir dan miskin di Selangor yang direkodkan tahun lalu. Jadi, statistik merupakan perkara yang amat penting. Sekiranya berlaku kesilapan dalam penyediaan atau pentafsiran statistik, pihak yang paling terkesan ialah rakyat.
Walau bagaimanapun, persoalan yang ingin dibangkitkan ialah apakah metodologi, standard dan kriteria yang digunakan oleh Jabatan Statistik Malaysia dalam menghasilkan statistik yang benar-benar tepat, berintegriti dan mampu menjadi asas kepada penggubalan dasar yang memberi manfaat kepada rakyat khususnya golongan benar-benar memerlukan.
Datuk Yang di-Pertua, berkaitan dengan fasal 12 iaitu arahan untuk mengemukakan data. Fasal ini memberikan kuasa kepada Ketua Perangkawan untuk mengarahkan mana-mana orang mengemukakan data melalui notis bertulis yang sah.
Dalam masa yang sama, peruntukan ini melibatkan campur tangan terhadap hak individu kerana seorang diwajibkan memberikan maklumat dan kegagalan berbuat demikian boleh dikenakan penalti.
Saya berpandangan pencerobohan terhadap hak tersebut adalah munasabah dan berkadar bagi mendapatkan statistik yang tepat, data yang diperolehi mestilah tepat terutamanya untuk menentukan dasar-dasar kerajaan tidak salah sasaran. Dalam masa yang sama, mampu memberi penjimatan kepada kantung kerajaan juga.
Saya ingatkan kepada Operasi Banci Penduduk 2020 yang dilakukan secara besar-besaran di seluruh negara sebelum COVID melanda negara kita. Ada isu orang enggan atau sengaja lari daripada memberikan maklumat kepada DOSM. Ini merupakan satu cabaran besar. Antara puncanya ialah rakyat takut kebocoran maklumat, mungkin juga orang yang datang hari itu, ia takut penyamun ataupun sebagainya untuk nak buat bancian. Jadi, salah faham tentang kehadiran, salah faham tentang cukai, sikap tidak peduli dan kewujudan warga asing tanpa izin (PATI).
Walaupun jaminan kerahsiaan telah wujud dalam Akta Rahsia Rasmi dan Akta Banci 1960 dan termasuk RUU Statistik ini, golongan ini mungkin akan sedaya upaya untuk mengelak daripada memberi maklumat kepada pihak yang bertanggungjawab.
Persoalannya, bagaimanakah...
Datuk Edward Linggu Bukut
Datuk Speaker, Datuk Yang di-Pertua, boleh saya mencelah?
Datuk Seri Prof. Emeritus Dr. Awang bin Sariyan
Bagaimana? Boleh?
Tuan Haji Musoddak bin Ahmad
Okey.
Datuk Seri Prof. Emeritus Dr. Awang bin Sariyan
Silakan.
Datuk Edward Linggu Bukut
Terima kasih Yang di-Pertua. Terima kasih Yang Berhormat. Berhubung dengan urusan bancian ini, di mana Yang Berhormat katakan mungkin pemilik rumah agak reluctant, dengan izin, untuk menerima pegawai-pegawai.
So, dalam konteks ini, adakah Yang Berhormat setuju bahawa kerajaan perlu meletakkan satu panduan mekanisme yang memastikan hilang keraguan daripada pemilik-pemilik rumah. Maklumlah, dewasa ini, kita selalu nampak banyak scammer dengan izin, maka takut nanti urusan banci ini tidak mencapai kepada tahap ataupun mendapat maklumat yang sepenuhnya seperti yang dikehendaki.
So, apa pandangan Yang Berhormat? Terima kasih.
Tuan Haji Musoddak bin Ahmad
Terima kasih Yang Berhormat. Saya amat bersetujulah kalau kerajaan dapat menilai semula kajian-kajian— nak rumah ke rumah ini, banci-banci ini, melihat semula bagaimana mekanisme yang diperlukan, kerana kerisauan rakyat terutamanya orang-orang kampung ini tentang kehadiran pembanci macam ini. Saya sangat bersetuju. Terima kasih Yang Berhormat.
Datuk Yang di-Pertua, yang terakhir saya— berkaitan dengan fasal 15 iaitu tentang obligasi kerahsiaan-kerahsiaan ini penting. Terutamanya terhadap data-data yang sensitif, data-data strategik, ketenteraan, pertahanan dan keselamatan negara.
Jika perkara ini didedahkan, bencana besar boleh berlaku terhadap kedaulatan negara.
Sebagai contoh tentang data-data ketenteraan, seperti bilangan personal tentera, termasuk tentera tetap, tentera simpanan, bilangan kapal tentera laut, bilangan aset- aset strategik pertahanan negara, ini penting untuk dirahsiakan.
Walau bagaimanapun mengikut fasal 15(2) iaitu denda tidak melebihi RM10,000 atau dipenjarakan tidak melebihi dua tahun atau keduanya adalah tidak munasabah.
Jika bocor data-data penting strategik negara, tak mungkin denda yang dikenakan dan penjara ini adalah munasabah. Sepatutnya dikenakan dengan lebih keras dan berat lagi.
Persoalannya, adakah kementerian bercadang melalui RUU ini bagi memecahkan spesifikasi bagi rahsia-rahsia apa yang dipecahkan, jika besar, hukuman lebih berat, jika kecil, tentulah hukuman yang lebih ringan.
Datuk Yang di-Pertua, pada asasnya saya menyokong kepentingan rang undang- undang ini khususnya dalam menggantikan Akta Perangkaan 1965 yang sudah tidak lagi selari dengan keperluan semasa pembaharuan melalui Rang Undang-undang Statistik ini merupakan satu langkah yang wajar bagi memodenkan sistem statistik negara agar lebih cekap, berwibawa dan memenuhi tuntutan era digital. Sekian, terima kasih.
Datuk Seri Prof. Emeritus Dr. Awang bin Sariyan
Terima kasih Yang Berhormat Tuan Haji Musoddak bin Ahmad. Pembahas seterusnya sedang bermesyuarat, Dato’ Setia Salehuddin.
Saya mempersilakan Yang Berhormat Senator Tuan Abun. Ya. Tepat masanya.
Silakan Yang Berhormat Senator Tuan Abun Sui Anyit.
Tuan Abun Sui Anyit
Terima kasih Datuk Yang di-Pertua, kerana memberi peluang kepada saya untuk membahaskan Rang Undang-undang Statistik 2026. Saya mengambil bahagian dalam perbahasan hari ini untuk membahaskan Rang Undang- undang Statistik dengan memberi tumpuan kepada peranan Majlis Statistik Negara yang ditubuhkan di bawah Bahagian III, rang undang-undang ini.
Tuan Yang di-Pertua, saya menyokong usaha kerajaan memperkukuh sistem statistik negara kerana dasar yang baik hanya dapat dirangka berasaskan data yang tepat, lengkap dan boleh dipercayai. Namun demikian, kuasa yang diberikan kepada Majlis Statistik Negara dan Ketua Perangkaan hendaklah disertakan dengan mekanisme semak dan imbang yang jelas supaya tidak berlaku salah guna kuasa.
Fasal 9 memperuntukkan bahawa Majlis bertindak sebagai badan penasihat utama memberi panduan dan arahan berkaitan statistik serta mengesahkan standard dan tatacara statistik negara.
Tuan Abun Sui Anyit
Saya ingin bertanya kepada Yang Berhormat Timbalan Menteri, apakah mekanisme kawalan yang diwujudkan bagi memastikan setiap keputusan Majlis dibuat secara profesional, telus dan bebas daripada sebarang campur tangan yang boleh menjejaskan integriti statistik negara?
Tuan Yang di-Pertua, saya juga ingin menyentuh satu isu yang amat penting khususnya di Sabah dan Sarawak iaitu rakyat yang masih tidak mempunyai dokumen pengenalan diri seperti sijil kelahiran atau MyKad. Adakah Jabatan Statistik Malaysia mempunyai statistik khusus mengenai jumlah individu yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri mengikut negeri, daerah dan kategori?
Saya bertanya ini kerana Jabatan Pendaftaran Negara mungkin ada yang memohon, tetapi ada yang tidak memohon. Bagaimana untuk mengetahui mereka yang tidak memohon ataupun yang ignorance, dengan izin, untuk memohon kepentingan dokumen diri ini? Jadi, adakah statistik mempunyai inisiatif yang ke depan untuk mencapai orang-orang yang begini di dalam negara kita? Jadi, sekiranya statistik ini belum diwujudkan, saya mencadangkan supaya ia dijadikan salah satu statistik rasmi negara kerana tanpa data yang tepat, amat sukar bagi kerajaan merancang dasar pendidikan, kesihatan, kebajikan dan pembangunan secara menyeluruh kepada golong yang tercicir ini.
Tuan Yang di-Pertua, saya juga ingin bertanya mengenai perjalanan Majlis Statistik Negara. Fasal 10 hanya menyatakan bahawa mesyuarat diadakan sekerap yang ditentukan oleh Pengerusi. Persoalan saya ialah, berapa kali dalam setahun Majlis dijangka bermesyuarat? Adakah kerajaan bercadang menetapkan bilangan minimum mesyuarat setiap tahun supaya fungsi Majlis dapat dilaksanakan secara lebih berkesan?
Selain itu, kepada siapakah Majlis Statistik Negara bertanggungjawab? Adakah Majlis diwajibkan mengemukakan laporan tahunan kepada Jemaah Menteri sahaja?
Atau adakah laporan tersebut turut dibentangkan kepada Parlimen bagi membolehkan Ahli-ahli Parlimen menilai prestasi dan keberkesanan Dasar Statistik Negara? Pada pandangan saya, sebuah Majlis yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri sewajarnya membentangkan laporan tahunan kepada Parlimen sebagai tanda accountability dan ketelusan.
Tuan Yang di-Pertua, saya juga ingin mencadangkan supaya kerajaan memperkasakan Jabatan Statistik Malaysia dengan teknologi digital yang lebih moden termasuk penggunaan kecerdasan buatan (AI), analitik data raya- big data, dengan izin, dan sistem pengisahan identiti yang selamat. Sebagai contoh, adakah kerajaan bercadang mewujudkan mekanisme perkongsian data yang selamat dengan Jabatan Pendaftaran Negara dan agensi berkaitan bagi mengenal pasti individu yang masih tidak mempunyai dokumen pengenalan diri atau yang tercicir daripada pangkalan data kerajaan, kerana mereka tidak memohon.
Sekiranya dibenarkan oleh undang-undang serta tertakluk kepada perlindungan data peribadi, penggunaan teknologi biometrik seperti cap jari yang telah direkodkan oleh agensi berkaitan boleh membantu mengesahkan identiti, mengelakkan pertindihan rekod dan meningkatkan ketepatan statistik negara. Namun, saya ingin menegaskan bahawa penggunaan teknologi sedemikian mestilah tertakluk kepada undang-undang.
Mempunyai kawalan yang ketat serta menghormati hak privasi rakyat.
Akhir sekali, saya ingin mencadangkan supaya laporan Majlis Statistik Negara mengandungi petunjuk prestasi yang jelas termasuk kualiti data, jurang data yang masih wujud, statistik golongan rentan, termasuk mereka yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri serta cadangan penambahbaikan dasar kerajaan.
Dengan cara ini, Parlimen dapat menjalankan fungsi semak dan imbang dengan lebih berkesan, manakala rakyat akan mempunyai keyakinan bahawa statistik negara benar-benar bebas, tepat dan boleh dipercayai. Dengan beberapa cadangan dan penambahbaikan tersebut, saya menyokong Rang Undang-undang Statistik 2026.
Sekian, terima kasih.
Datuk Seri Prof. Emeritus Dr. Awang bin Sariyan
Terima kasih Yang Berhormat Senator Tuan Abun Sui Anyit. Ada penjimatan masa lebih kurang empat minit, terima kasih. Dan kini saya mempersilakan Yang Berhormat Senator Tuan Mohd Hasbie bin Muda, silakan.
Tuan Mohd Hasbie bin Muda
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh****.**
Datuk Seri Prof. Emeritus Dr. Awang bin Sariyan
Waalaikumussalam.
Tuan Mohd Hasbie bin Muda
Dan selamat tengah hari. Terima kasih Datuk Yang di-Pertua atas peluang untuk saya turut membahaskan RUU Statistik 2026 yang pada pandangan saya merupakan satu pembaharuan yang sangat penting dalam memperkukuhkan ekosistem statistik negara.
Akta Statistik 2026 ini akan menggantikan Akta Perangkaan 1965 yang telah digunakan selama hampir 61 tahun. Dan yang sebelum itu kita mengguna pakai Ordinan Perangkaan 1949. Dan sudah tentulah perubahan ini sangat perlu selari dengan tuntutan zaman dan kepesatan teknologi.
Datuk yang di-Pertua, statistik bukan sekadar tentang angka, statistik menentukan bagaimana kerajaan mengenal pasti golongan yang memerlukan bantuan, bagaimana subsidi disasarkan, bagaimana sekolah dan hospital dirancang, bagaimana pengangkutan awam disediakan dan bagaimana pembangunan negeri serta daerah dirangka?
Oleh itu, bagi saya persoalan yang lebih besar ialah bukan sekadar berapa banyak data yang kita ada tetapi sejauh mana data tersebut dapat menghasilkan keputusan kerajaan yang lebih tepat dan akhirnya memberi manfaat kepada rakyat.
Saya melihat antara perkara penting dalam RUU ini ialah fungsi Jabatan Statistik Malaysia untuk membangunkan dan menetapkan standard serta tatacara statistik selain memastikan kualiti, integriti dan kebolehpercayaan statistik rasmi.
Ini sangat penting kerana kerajaan pada hari ini bukan kekurangan data. Kita mempunyai data daripada kementerian, jabatan, kerajaan-kerajaan negeri, PBT, agensi dan pelbagai sumber pentadbiran. Cabaran sebenar ialah sama ada data-data ini menggunakan definisi, kaedah dan standard yang konsisten.
Sebagai contoh, apabila kita menyebut tentang kemiskinan, pengangguran, isi rumah, golongan rentan, belia atau pelbagai kategori sosial yang lain, kita perlu memastikan ukuran yang digunakan benar-benar seragam. Jika setiap agensi menggunakan kaedah yang berbeza, kita mungkin mempunyai banyak data, tetapi menghasilkan gambaran yang berbeza. Akhirnya, dasar yang dibuat juga berisiko untuk tidak mencapai sasaran yang sebenar.
Sebab itu, saya melihat peranan DOSM sebagai badan yang menetapkan standard statistik bukan sekadar fungsi teknikal. Ia merupakan satu mekanisme untuk menyatukan bahasa data dalam keseluruhan jentera kerajaan. Jadi, saya ingin bertanya kepada kementerian, apakah mekanisme yang akan memastikan standard statistik yang dibangunkan ini benar-benar diterima secara menyeluruh oleh kementerian, agensi kerajaan negeri dan juga PBT. Ini kerana standard yang baik tidak cukup sekadar wujud dalam dokumen, ia mesti digunakan dalam proses membuat keputusan.
Datuk Yang di-Pertua, saya juga ingin melihat peranan statistik negara selepas RUU ini diluluskan secara lebih jauh. Dunia hari ini sudah bergerak daripada sekadar mengumpul data kepada penggunaan data sebagai satu bentuk policy intelligent. Kita bukan lagi hanya mahu tahu berapa ramai rakyat yang menganggur. Kita mahu tahu siapa yang paling terkesan, di daerah mana, dalam kumpulan umur berapa, dengan tahap pendidikan yang bagaimana dan yang paling penting, apakah intervensi kerajaan yang paling berkesan untuk membantu mereka?
Begitu juga apabila kita mempunyai statistik kos sara hidup. Kita bukan sekadar mahu mengetahui bahawa kos sara hidup meningkat. Kita juga mahu tahu kumpulan mana yang paling terkesan, negeri atau daerah mana yang menghadapi tekanan paling tinggi dan apakah bentuk intervensi yang paling sesuai?
Ini kerana sebagaimana yang kita tahu, saya ambil contoh umpamanya, dalam pelaksanaan gaji minimum kita, kita membuat pelaksanaan gaji minimum secara pukul rata daripada Perlis hingga ke Sarawak, semuanya RM1,700. Sedangkan di negara jiran kita umpamanya, upah minimum provinsi mereka ditentukan mengikut wilayah. Ada yang serendah Rp2 juta, ada yang setinggi Rp5 juta. Dan dasar itu betul, itu negara mereka, tetapi dari sudut mengklusterkan wilayah-wilayah yang berbeza itu sudah tentu memberikan keberkesanan yang sebenarnya lebih baik daripada kita.
Tuan Mohd Hasbie bin Muda
Saya juga melihat peranan statistik pada masa hadapan perlu bergerak, daripada sekadar menjawab apa yang sedang berlaku kepada persoalan mengapa ia berlaku? Siapa yang paling terkesan dan apakah dasar yang patut kita laksanakan?
Saya ingin mendapatkan pandangan kementerian sama ada selepas RUU ini diluluskan, DOSM akan memainkan peranan yang lebih besar dalam menyediakan analisis strategik kepada kerajaan supaya statistik yang dihasilkan bukan hanya menjadi laporan tetapi benar-benar menjadi input kepada pembentukan dasar.
Kita setiap bulan kita akan tengok pengarah— Ketua Pengarah Perangkaan Negara membentangkan tentang ASP Industri, tentang ASP pengguna, tetapi sejauh mana data-data itu difahami oleh rakyat? Kita tidak mahu statistik yang dikumpul saban minggu, saban hari akan menerima nasib yang sama seperti tesis-tesis PhD pelajar- pelajar kita yang bertimbun dalam library universiti, tetapi tidak boleh dimanfaatkan untuk kegunaan masyarakat dan rakyat secara umumnya.
Datuk Yang di-Pertua, satu lagi perkara yang saya fikir penting ialah soal komunikasi statistik. Statistik yang betul, tetapi tidak difahami rakyat juga mempunyai nilai yang terhad. Sebagaimana yang saya sebutkan tadi, walaupun kita akui di bawah Menteri yang sebelum ini, Datuk Seri Rafizi ada usaha untuk merakyatkan data itu supaya lebih dekat dengan rakyat tetapi pada masa ini, saya lihat progress itu seolah- olah tidak berkembang dengan baik.
Hari ini kita hidup dalam zaman media sosial. Satu angka boleh tersebar dalam beberapa minit, tetapi angka yang sama juga boleh dipetik di luar konteks, di manipulate, dibandingkan secara tidak tepat atau digunakan untuk mengguna persepsi yang salah.
Sebab itu tanggungjawab kerajaan bukan hanya menghasilkan statistik yang tepat, tetapi juga memastikan statistik tersebut mudah difahami.
Saya ambil contoh mudah. Bila kita lihat data yang diberi oleh kerajaan dalam soal indeks harga pengguna, dalam soal inflasi. Data atas kertas memang cantik, tetapi rakyat tidak merujuk kepada itu. Rakyat lebih suka mendengar apa yang ditohmah di warung-warung ataupun di kedai-kedai kopi.
Walaupun DOSM menunjukkan bahawa inflasi kita terkawal, tetapi cakap-cakap di kedai-kedai kopi menceritakan sebaliknya, dan sekali gus menimbulkan keresahan kepada masyarakat. Kita mahu rakyat bukan sekadar melihat angka-angka, tetapi kita juga mahu rakyat memahami angka kerana masyarakat yang memahami statistik akan lebih kebal terhadap manipulasi maklumat.
Datuk Yang di-Pertua, saya juga ingin menyentuh fasal 12 RUU ini memberikan kuasa kepada Ketua Perangkawan melalui notis bertulis untuk mengarahkan mana- mana orang mengemukakan data yang berada dalam pengetahuan mereka atau yang semunasabahnya boleh diperoleh.
Saya memahami keperluan kuasa ini kerana kerajaan memerlukan data yang berkualiti untuk menghasilkan statistik rasmi, tetapi pada masa yang sama kita mesti memastikan pengumpulan data tidak menjadi satu beban yang berlebihan kepada rakyat dan sektor perniagaan khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana.
Bagi syarikat besar, mungkin mereka mempunyai jabatan kewangan, jabatan sumber manusia dan data sendiri, tetapi bagi sebuah perniagaan kecil, permintaan data yang terlalu kerap ataupun terlalu kompleks boleh menjadi beban tambahan kepada perniagaan atau pun syarikat mereka.
Jadi saya ingin mendapatkan jaminan kepada kementerian, apakah akan ada prinsip proportionality ataupun berkadaran dalam pelaksanaan arahan pengemukaan data supaya data yang diminta benar-benar diperlukan munasabah dan sepadan dengan tujuan statistik yang hendak dicapai?
Pada pandangan saya, kita tidak mahu mengumpul data sebanyak mungkin, tapi kita mahu mengumpul data yang benar-benar diperlukan, yang berkualiti dan mempunyai nilai kepada negara.
Datuk Yang di-Pertua, apabila kita melihat RUU ini secara keseluruhan, saya melihat ia nya sebagai langkah penting untuk membawa sistem statistik negara ke tahap yang lebih sesuai dengan ekonomi digital dan keperluan pentadbiran moden. RUU ini memperuntukkan fungsi DOSM lebih luas termasuk menetapkan standard statistik, memastikan kualiti dan integriti statistik serta menyelaras aktiviti statistik.
Namun selepas undang-undang ini diluluskan, ukuran kejayaan kita bukan kepada berapa banyak data yang berjaya dikumpulkan. Ukurannya ialah adakah data itu akan menghasilkan dasar yang lebih tepat? Adakah dasar itu akan menghasilkan perkhidmatan yang lebih baik dan akhirnya membawa kesejahteraan kepada rakyat kita?
Datuk Yang di-Pertua, saya percaya negara yang mempunyai statistik yang kukuh ialah negara yang mempunyai keupayaan untuk melihat dirinya sendiri dengan jujur. Kita tidak boleh memperbaiki sesuatu yang kita tidak ukur. Kita tidak boleh menyelesaikan masalah yang kita tidak faham, dan kita tidak boleh membuat dasar yang baik sekiranya asas buktinya lemah. Justeru Datuk Yang di-Pertua, saya menyokong RUU statistik 2026 ini. Terima kasih.
Datuk Seri Prof. Emeritus Dr. Awang bin Sariyan
Terima kasih Yang Berhormat Senator Tuan Mohd Hasbie bin Muda. Tepat 10 minit dan kini saya mempersilakan Yang Berhormat Senator Tuan Che Alias bin Hamid. Silakan.
Tuan Che Alias bin Hamid
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Terima kasih Datuk Yang di-Pertua kerana memberi kesempatan kepada saya untuk sama-sama membahaskan Rang Undang-undang Statistik 2026 ini.
Saya secara prinsipnya menyokong rang undang-undang ini yang sangat penting ini. Namun terdapat beberapa perkara yang perlu diperhalusi sebelum pindaan ini dikuatkuasakan.
Datuk Yang di-Pertua, statistik rasmi bukan sekadar himpunan angka tetapi merupakan kompas ekonomi dan juga sosial negara. Data yang diterbitkan oleh Jabatan Statistik Malaysia menjadi asas kepada penyediaan belanjawan, penggubalan dasar, pengukuran kemiskinan, inflasi, pengangguran, pertumbuhan ekonomi serta penyaluran bantuan kepada rakyat. Justeru itu, kredibiliti statistik negara mestilah bebas daripada sebarang persepsi campur tangan politik.
Datuk Yang di-Pertua, walaupun rang undang-undang ini memperkukuhkan fungsi JSM (Jabatan Statistik Malaysia), saya berpandangan bahawa kedudukannya di bawah Kementerian Ekonomi masih menimbulkan persepsi konflik kepentingan.
Kedudukan JSM di bawah kementerian yang turut merangka dan juga menilai prestasi dasar ekonomi negara boleh menimbulkan persoalan sama ada agensi yang menyokong prestasi kerajaan benar-benar bebas daripada pihak yang dinilai.
Saya mengalu-alukan syarat kelayakan Ketua Perangkawan di bawah fasal 4(2).
Namun, kebebasan Jabatan Statistik Malaysia tidak boleh bergantung pada kelayakan individu semata-mata kerana rang undang-undang ini perlu memperkukuhkan jaminan kebebasan institusi agar Jabatan Statistik Malaysia ini dapat melaksanakan fungsi statistik negara secara profesional, telus dan juga bebas daripada sebarang pengaruh yang boleh menjejaskan integrasi, integriti dan juga kredibiliti data yang dikemukakan.
Datuk Yang di-Pertua, amalan di United Kingdom boleh dijadikan rujukan kepada kita. Statistik rasmi negara tersebut diselia oleh UK Statistic Authority iaitu sebuah badan berkanun yang bebas daripada kawalan mana-mana kementerian dan juga bertanggungjawab kepada Parlimen, di mana model pentadbiran ini, tadbir urus seperti ini diwujudkan bagi memastikan bahawa penghasilan statistik data yang diperolehi itu bebas daripada campur tangan politik serta mengekalkan keyakinan awam, keyakinan rakyat terhadap integriti data di negara ini.
Oleh itulah, ianya merupakan suatu perkara yang penting kerana petunjuk seperti indeks harga pengguna dan juga kadar pengangguran, kadar kemiskinan, KDNK menjadi rujukan para pelabur dan institusi kewangan serta agensi-agensi yang terlibat berhubung dengan penarafan antarabangsa.
Sebarang keraguan terhadap integriti data yang diberikan boleh menjejaskan keyakinan terhadap ekonomi negara kita.
Tuan Che Alias bin Hamid
Sehubungan dengan itu, saya mencadangkan agar kerajaan mempertimbangkan penstrukturan semula Jabatan Statistik Malaysia sebagai sebuah Suruhanjaya bebas statistik atau badan berkanun bebas yang melaporkan terus kepada Parlimen ini melalui Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen. Langkah ini akan memperkukuhkan kebebasan, integriti, dan juga kredibiliti statistik rasmi negara sekali gus meningkatkan keyakinan para pelabur dan juga, dalam masa yang sama, ianya menjadi suatu reputasi Malaysia di peringkat antarabangsa.
Seterusnya, Datuk Yang di-Pertua, yang kedua saya ingin bangkitkan ialah implikasi rang undang-undang ini terhadap perusahaan mikro, kecil dan juga sederhana
(PMKS) yang membentuk lebih 96 peratus daripada keseluruhan entiti perniagaan di Malaysia pada hari ini.
Sebagai tulang belakang ekonomi negara, setiap kewajipan perkara yang baru yang akan dikenakan kepada sektor ini perlu mengambil kira kemampuan sebenar mereka untuk mematuhinya, di mana, kalau kita lihat di bawah fasal 12 dan juga fasal 13, PMKS dikehendaki mengemukakan data kepada Jabatan Statistik Malaysia.
Walaupun bertujuan untuk meningkatkan kualiti statistik negara, kewajipan ini berpotensi menambah beban pematuhan kepada PMKS itu sendiri, yang kini turut berdepan dengan pelbagai pelaksanaan seperti e-invois, caruman KWSP, PERKESO dan urusan percukaian serta pelbagai syarat yang dikenakan termasuklah pelesenan dan sebagainya.
Lebih membimbangkan lagi, kebanyakan perusahaan mikro yang tidak mempunyai pegawai khas iaitulah pegawai yang khusus untuk menguruskan pelaporan data. Tanggungjawab ini lazimnya dipikul sendiri oleh pemilik perniagaan tersebut. Oleh itu, akibat kekangan sumber manusia dan juga kefahaman berhubung dengan apa yang hendak dilakukan ini, mungkin berlakunya kesilapan yang tidak disengajakan boleh berlaku kepada mereka ini. Namun, di bawah fasal 12(5), kesilapan tersebut berisiko dianggap sebagai pemberian maklumat yang tidak tepat dan boleh mengundang tindakan undang-undang oleh kerajaan.
Datuk Yang di-Pertua, pada pandangan saya, kerajaan perlu memastikan kejayaan pengintegrasian data antara agensi-agensi yang terlibat iaitulah melibatkan SSM, Lembaga Hasil (LHDN), KWSP dan juga PERKESO supaya peniaga tidak perlu lagi mengemukakan maklumat-maklumat yang sama berulang kali. Hal ini selaras dengan fungsi Jabatan Statistik yang dicadangkan di bawah fasal 5(1), iaitulah rang undang-undang ini sebagai pusat repositori, tempat simpanan data bagi data dan juga statistik.
Di samping itu, rang undang-undang ini juga wajar memperuntukkan mekanisme pengecualian ataupun keperluan pelaporan yang lebih ringan kepada perusahaan mikro yang terlibat khususnya mereka yang berada di kawasan luar bandar dan juga berdasarkan saiz perniagaan mereka itu sendiri.
Sehubungan itu, saya mencadangkan supaya pihak kerajaan mewujudkan kerangka pelaporan berstruktur mudah, khusus untuk PMKS serta memberikan tempoh, iaitu tempoh masa sekurang-kurangnya 12 bulan sebelum penguatkuasaan ataupun penalti dilaksanakan terhadap mereka ini. Pendekatan ini akan membantu meningkatkan pematuhan tanpa menjejaskan produktiviti dan juga kelangsungan perusahaan kecil yang terlibat.
Seterusnya, yang terakhir, Datuk Yang di-Pertua, saya ingin bangkitkan ialah berkaitan fasal 14(1) yang menetapkan bahawa data ataupun statistik yang diperolehi di bawah akta ini tidak boleh diterbitkan atau dikomunikasikan tanpa kelulusan terdahulu Ketua Perangkawan, manakala fasal 14(4) memperuntukkan denda sehinggalah RM50,000 bagi pelanggaran kehendak tersebut.
Saya memahami keperluan untuk melindungi kerahsiaan data khususnya identiti responden. Namun begitu, skop larangan dalam fasal 14(1) perlu diperjelaskan agar ianya tidak menimbulkan tafsiran yang terlalu luas sehingga boleh menjejaskan penyelidikan, analisa profesional dan juga wacana awam yang menggunakan data-data rasmi yang ada yang dikemukakan yang disimpan oleh kerajaan.
Datuk Yang di-Pertua, dalam dunia akademik dan juga ekonomi dan sains, data ahli akademik, penyelidik, badan pemikir serta media lazimnya menggunakan data-data rasmi daripada Jabatan Statistik Malaysia yang ada pada hari ini, sebagai asas kepada analisis dan juga perbahasan yang hendak dilakukan khususnya berhubung dengan dasar sesuatu dasar.
Perbezaan tafsiran ataupun analisis terhadap data yang sama merupakan amalan biasa dalam masyarakat iaitu menggalakkan penyelidikan berasaskan kepada bukti yang nyata, yang tepat iaitu ia merupakan suatu perkara yang penting. Adalah penting supaya rang undang-undang ini menjelaskan bahawa sekatan di bawah fasal 14(1) ini hanya terpakai kepada penerbitan atau komunikasi data yang belum dibenarkan atau yang boleh mendedahkan identiti responden dan juga bukannya menggunakan penggunaan ataupun analisis data rasmi yang tetap diterbitkan secara sah oleh Jabatan Statistik Malaysia.
Oleh itu, saya terima, saya menyokong dan harap dapat perkemaskan pandangan-pandangan apa yang diberikan. Terima kasih.
Datuk Seri Prof. Emeritus Dr. Awang bin Sariyan
Terima kasih, Yang Berhormat Senator Tuan Che Alias bin Hamid. Sekarang saya mempersilakan Yang Berhormat Senator Dato’ Ng Keng Heng menyampaikan perbahasan.
Dato' Ng Keng Heng
Terima kasih, Datuk Yang di-Pertua. Terima kasih sekali lagi kerana memberikan peluang kepada saya untuk mengambil bahagian membahaskan Rang Undang-undang Statistik 2026.
Saya menyokong penuh peningkatan keupayaan statistik negara melalui RUU Statistik 2026. Namun, sokongan ini hadir bersama lima tuntutan penambahbaikan.
Yang pertama, sila masukkan wakil pakar statistik dan ekonomi berkecuali dalam Majlis Statistik Negara.
Yang kedua, longgarkan syarat kelayakan 20 tahun Ketua Perangkawan, kepada 15 tahun untuk menarik bakat sains data muda bertaraf antarabangsa. Yang ketiga, lindungi PKMS daripada denda melampau RM50,000 bagi kesalahan pentadbiran biasa.
Yang keempat, tetapkan akauntabiliti ke atas ketua entiti kerajaan yang enggan berkongsi data sejajar dengan yang ditetapkan kepada rakyat biasa. Yang kelima, diwajibkan kalender penerbitan data rasmi pada tarikh tetap tertentu yang tidak boleh diubahsuai bagi mengelakkan manipulasi masa penerbitan statistik untuk kepentingan politik.
Cadangan-cadangan ini berdasarkan terdapat beberapa kekhuatiran, antaranya termasuklah isu pemusatan kuasa berlebihan oleh cabang eksekutif, denda yang tidak selaras, soal ketirisan data dan sebagainya.
Datuk Yang di-Pertua, fasal 7 mengenai penubuhan Majlis Statistik Negara menetapkan bahawa Pengerusi Majlis ialah Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, dianggotai oleh Menteri Ekonomi, tidak lebih lapan orang Menteri persekutuan, KSN, KPPA, KSU kementerian dan Ketua Perangkawan sebagai Setiausaha.
Dato' Ng Keng Heng
Persoalan saya, di manakah suara pakar bebas? Mengapa di dalam sebuah Majlis yang berfungsi menilai dan mengesahkan standard serta metodologi statistik negara yang termaktub dalam fasal 9, tiada sebarang kewajipan statutory untuk melantik ahli akademik berkecuali, pakar sains data atau wakil pertubuhan ekonomi bebas sebagai ahli rasmi bersuara. Walaupun dalam fasal 8 menyebut Majlis boleh mengundang mana-mana orang, namun hakikatnya ialah tanpa hak mengundi.
Saya mendesak agar keanggotaan MSN dipinda dengan mewajibkan penyertaan pakar statistik bebas daripada universiti tempatan dan dewan perniagaan bagi menjamin ketelusan serta kebebasan profesionalisme DOSM.
Datuk Yang di-Pertua, seterusnya saya merujuk kepada fasal 4(2) mengenai pelantikan Ketua Perangkawan yang menetapkan syarat wajib bahawa calon mesti mempunyai sekurang-kurangnya 20 tahun pengalaman kerja dalam bidang statistik.
Syarat 20 tahun ini pada hemat saya adalah terlalu kaku dan tidak selari dengan perkembangan era AI dan machine learning, dengan izin. Dunia sains data hari ini bergerak sepantas kilat.
Ramai anak muda Malaysia yang pakar di dalam bidang analitik ramalan dan teknologi kecerdasan buatan seperti yang bekerja di syarikat-syarikat teknologi global di Silicon Valley, Taiwan atau Singapura. Sekiranya kita mengehadkan syarat kepada 20 tahun perkhidmatan dalam sistem birokrasi tradisional, kita mungkin menutup pintu kepada bakat-bakat sains data muda bertaraf dunia untuk memimpin DOSM. Saya mencadangkan syarat ini dilonggarkan kepada 15 tahun perkhidmatan sekiranya calon mempunyai pendedahan dan reka cipta teknologi data bertaraf antarabangsa.
Datuk Yang di-Pertua, fasal 12(1) memberi kuasa kepada Ketua Perangkawan untuk mengarahkan mana-mana orang untuk mengemukakan apa-apa data yang dalam pengetahuan atau semunasabahnya boleh didapatkan, tetapi pada fasal 12(5) pula, ia memberi mandat kepada DOSM untuk mendenda sehingga RM50,000 dan denda harian RM2,000 jika gagal mematuhi. Apakah takrifan frasa “semunasabahnya boleh didapatkan”?
Ini adalah satu tema yang sangat kabur dan subjektif. Peniaga-peniaga kecil dan pengusaha sederhana di kebanyakan kawasan di negara kita tidak mempunyai jabatan penganalisis data atau akauntan khusus, bahkan ada yang tidak terdedah dengan proses menjana data perniagaan. Jika DOSM mengeluarkan notis menghendaki data perniagaan yang rumit dalam tempoh masa yang singkat, adakah peniaga kecil ini akan terus disaman RM50,000 dan RM2,000 sehari?
Saya mencadangkan agar dimasukkan klausa perlindungan khas untuk perniagaan PKS serta prinsip mendidik sebelum menghukum, diwujudkan untuk kesalahan kali pertama. Satu lagi kepincangan RUU ini ialah dwistandard antara sektor swasta dan entiti kerajaan. Di bawah fasal 12, rakyat atau syarikat swasta yang gagal menyerahkan data bakal didenda RM50,000.
Namun di bawah fasal 13, apabila Ketua Perangkawan meminta data daripada entiti kerajaan, tiada sebarang penalti atau surcaj dikenakan jika ketua jabatan kerajaan tersebut enggan atau melengah-lengahkan penyerahan data. Mengapa rakyat biasa boleh didenda dengan RM50,000 dan penjara tetapi pegawai kerajaan yang tidak bekerjasama mengemukakan data pentadbiran terlepas begitu sahaja? Ketirisan dan masalah pengurusan data negara hari ini adalah ketiadaan integrasi di antara kementerian, lalu mencipta situasi data silo. Jika tiada liabiliti undang-undang ke atas entiti kerajaan, bagaimana RUU ini mampu memaksa kementerian-kementerian untuk memecahkan benteng data silo tersebut?
Datuk Yang di-Pertua, akhir sekali, saya ingin membahas isu keselamatan data di bawah fasal 15 iaitu obligasi kerahsiaan. RUU ini menggariskan bahawa data individu tidak boleh dibocorkan. Namun, rakyat di luar sana mengalami krisis kepercayaan yang amat parah berikutan pelbagai insiden kebocoran data peribadi agensi kerajaan dan syarikat telekomunikasi. Persoalan saya, apakah status terkini pangkalan data utama iaitu PADU dan bagaimanakah fungsinya akan diselaraskan dengan matlamat RUU ini?
Selepas RM80 juta dana dibelanjakan dan lebih 10 juta data peribadi dikutip untuk tujuan PADU, apakah integriti keselamatan data di bawah DOSM benar-benar terjamin? Apabila RUU ini menjadikan DOSM sebagai pusat pengumpulan tunggal data kebangsaan, apakah bentuk audit keselamatan siber berkala oleh pihak ketiga diwajibkan oleh undang-undang? Sekiranya berlaku insiden pencerobohan siber pada simpanan data di DOSM, apakah jaminan pampasan atau remedi sivil kepada rakyat yang menjadi mangsa sindiket scammer? Datuk Yang di-Pertua, kesimpulannya, saya menyokong usaha kerajaan untuk menaik taraf Jabatan Perangkaan Malaysia kepada Jabatan Statistik Malaysia serta mengukuhkan peranannya sebagai pusat simpanan data rasmi negara. Data yang neutral lagi tepat, melahirkan dasar yang adil. Jangan sesekali dibiarkan statistik negara dicemari oleh persepsi dan apa jua pengaruh politik. Sekian, terima kasih Datuk Yang di-Pertua.
Datuk Seri Prof. Emeritus Dr. Awang bin Sariyan
Terima kasih Yang Berhormat Senator Dato' Ng Keng Heng. Kini saya usulkan Yang Berhormat Senator Datuk Rosni binti Sohar, silakan.
Datuk Rosni binti Sohar
Terima kasih Datuk Yang di-Pertua. Terima kasih kerana memberikan saya peluang untuk turut serta dalam membahaskan Rang Undang- undang Statistik 2026. Di kesempatan ini juga saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Kementerian Ekonomi dan Jabatan Statistik Malaysia ataupun DOSM atas usaha menggubal rang undang-undang ini.
Pada hemat saya, negara sememangnya memerlukan satu akta baharu bagi menggantikan Akta Perangkaan 1965. Hari ini data bukan lagi sekadar himpunan angka atau maklumat, data merupakan aset strategik negara, malah sering dianggap sebagai emas baharu dalam ekonomi digital. Negara yang memiliki data yang berkualiti akan mampu menggubal dasar yang lebih tepat, meningkatkan keyakinan pelabur, memperkukuh daya saing ekonomi dan akhirnya, memberi manfaat kepada rakyat.
Datuk Yang di-Pertua, pertama, saya ingin menyentuh fasal 4, berhubung kelayakan Ketua Perangkawan. Saya bersetuju bahawa Ketua Perangkawan mestilah seorang yang berkelayakan dan mempunyai kepakaran yang tinggi tetapi saya ingin bertanya kepada Yang Berhormat Menteri. Mengapa mesti 20 tahun pengalaman?
Mengapa angka itu begitu rigid?
Hari ini dunia sudah berubah, dalam bidang AI, statistik dan sains data, kita melihat ramai pakar-pakar yang masih muda tetapi sudah mengetuai makmal penyelidikan di Amerika Syarikat, United Kingdom dan Eropah. Ada yang menjadi penasihat kepada kerajaan dan organisasi antarabangsa sebelum mencecah umur 40 tahun. Adakah kita mahu menutup pintu kepada bakat seperti ini hanya kerana mereka belum cukup 20 tahun berkhidmat?
Saya berpandangan pengalaman itu penting, tetapi pengalaman semata-mata tidak boleh menjadi satu-satunya ukuran. Yang lebih penting ialah kompetensi, kepimpinan, integriti, rekod penyelidikan dan kemampuan mengemudi sistem statistik negara dalam era digital.
Datuk Rosni binti Sohar
Justeru, saya mencadangkan supaya syarat pengalaman ini diberikan sedikit fleksibiliti supaya negara tidak kehilangan peluang mendapatkan bakat terbaik, hanya kerana syarat yang terlalu ketat.
Datuk Yang di-Pertua, kedua, saya ingin menyentuh fasal 7 mengenai Majlis Statistik Negara. Saya melihat komposisi bagi sini terlalu didominasi oleh pihak eksekutif. Perdana Menteri menjadi Pengerusi, dianggotai Menteri-Menteri, Ketua Setiausaha Negara dan pegawai kanan kerajaan.
Persoalan saya, di manakah suara akademia? Di manakah badan profesional?
Di manakah pakar statistik, pakar AI, saintis data atau wakil industri? Kalau statistik negara mahu diyakini, badan yang menyalurkan hala tujunya juga perlu dilihat bebas, pelbagai dan inklusif. Saya mencadangkan supaya beberapa kerusi diperuntukkan kepada ahli akademik, badan profesional statistik, wakil industri serta kerajaan negeri dan sebagai seorang Senator wanita, izinkan saya membuat satu lagi cadangan.
Kerajaan telah lama memperjuangkan sasaran, sekurang-kurangnya 30 peratus wanita dalam jawatan pembuat keputusan. Mengapa kita tidak melaksanakan prinsip yang sama dalam Majlis Statistik Negara? Malaysia mempunyai ramai wanita yang hebat dalam bidang statistik, ekonomi, matematik, AI dan sains data.
Saya percaya, penyertaan wanita bukan sekadar soal representasi, tetapi soal mendapatkan perspektif yang lebih menyeluruh dalam membuat dasar. Jadi saya berharap kerajaan boleh mempertimbangkan supaya sekurang-kurangnya 30 peratus keanggotaan Majlis Statistik Negara dianggotai oleh wanita selaras dengan aspirasi Dasar Wanita Negara dan SDG5, matlamat pembangunan mampan.
Datuk Yang di-Pertua, seterusnya saya ingin menyentuh fasal 12. Fasal ini mewajibkan mana-mana orang yang mengemukakan data yang benar, tepat dan lengkap. Saya tiada masalah dengan kewajipan tersebut kerana statistik yang baik, bermula dengan data yang berkualiti. Namun persoalan saya, bagaimana jika berlaku kesilapan yang benar-benar tidak disengajakan? Bagaimana jika berlaku kesilapan teknikal? Bagaimana jika seseorang tersalah memasukkan angka atau terlepas pandang sesuatu maklumat tanpa ada niat langsung untuk mengelirukan? Rang undang-undang ini, tidak membezakan secara jelas antara kesalahan yang dilakukan dengan sengaja dan kesilapan yang berlaku secara jujur atau munasabah.
Saya berpandangan, bagi kesalahan kali pertama yang tidak melibatkan unsur penipuan atau niat untuk mengelirukan, pendekatan yang lebih wajar ialah memberikan notis dan atau amaran terlebih dahulu serta peluang untuk membetulkan data dalam tempoh yang munasabah. Hanya sekiranya individu tersebut gagal membetulkan data, ingkar terhadap arahan atau didapati dengan sengaja mengemukakan data palsu atau mengelirukan, barulah tindakan penalti dikenakan. Pendekatan ini lebih adil, lebih mendidik dan selaras dengan prinsip penguatkuasaan yang baik. Kita mahu menghukum mereka yang sengaja memalsukan data, bukannya mereka yang melakukan kesilapan yang jujur.
Datuk Yang di-Pertua, berhubung fasal 13. Ketua Perangkawan diberikan kuasa meminta data daripada mana-mana entiti kerajaan. Persoalan saya mudah. Apa berlaku kalau kementerian atau agensi, tidak memberi data? Apa berlaku kalau data diberi lewat? Apa berlaku kalau data tidak lengkap? Saya tidak menemui sebarang peruntukan yang jelas mengenai akibat undang-undang, sekiranya arahan ini tidak dipatuhi. Saya berharap perkara ini, perjelaskan kerana tanpa mekanisme penguatkuasaan yang jelas, kuasa yang diberikan mungkin sukar dilaksanakan.
Datuk Yang di-Pertua, saya juga ingin menyentuh soal konsistensi penalti. Di bawah fasal 12, kesalahan yang dikemukakan data yang tidak benar boleh dikenakan denda sehingga RM50,000, tetapi di bawah fasal 15, pegawai Jabatan Statistik yang membocorkan data sulit, hanya berdepan dengan denda RM10,000 sahaja. Walaupun mereka memegang amanah yang sangat besar.
Persoalan saya, mengapa hukuman terhadap pihak yang memegang data lebih rendah daripada pihak menyerahkan data? Bukankah kebocoran data oleh pegawai sendiri boleh menjejaskan keyakinan rakyat terhadap keseluruhan sistem statistik negara? Saya berharap kerajaan dapat menyemak semula struktur peneliti supaya lebih konsisten dan setimpal dengan keseriusan kesalahan.
Datuk Yang di-Pertua, akhir sekali, saya ingin menyentuh suatu perkara yang saya fikir, semakin penting pada hari ini. Kita sering bercakap tentang berita palsu.
Tetapi hari ini, statistik palsu juga boleh membawa kesan yang sama buruk. Statistik yang di manipulasi boleh mengelirukan rakyat. Statistik yang dipalsukan boleh mempengaruhi pasaran. Statistik yang tidak benar boleh membawa kepada dasar yang salah.
Justeru, saya berpandangan, selain menangani berita palsu, negara juga perlu mempunyai mekanisme yang lebih jelas untuk membendung penyebaran statistik palsu atau statistik yang sengaja di manipulasi sehingga disifatkan sebagai statistik rasmi. Kita mesti mempertahankan integriti statistik negara, sebagaimana kita mempertahankan integriti maklumat negara.
[Dato’ Setia Salehuddin bin Saidin **mempengerusikan Mesyuarat****] Dato’ Yang di-Pertua, kesimpulannya saya menyokong rang undang-undang ini.
Namun, saya berharap kerajaan dapat mempertimbangkan beberapa cadangan dan penambahbaikan tadi, iaitu memberi lebih fleksibiliti kepada syarat pelantikan Ketua Perangkawan.
Kedua memperluaskan keanggotaan Majlis statistik termasuk sekurang- kurangnya 30 peratus wanita.
Ketiga memperjelaskan unsur kesalahan di bawah fasal 12.
Keempat, menetapkan implikasi yang jelas di bawah fasal 13.
Yang kelima, menyemak semula kadar penalti supaya lebih konsisten serta memperkukuhkan perlindungan terhadap penyebaran statistik palsu.
Saya percaya dengan penambahbaikan ini, Akta Statistik 2026 akan menjadi sebuah undang-undang yang lebih kukuh, lebih diyakini dan benar-benar bersedia menghadapi cabaran masa hadapan.
Dengan itu, saya turut menyokong. Sekian, terima kasih.
Dato’ Setia Salehuddin bin Saidin
Terima kasih. Terima kasih kepada YB Senator Datuk Rosni. Seterusnya, saya mempersilakan YB Senator Tan Sri Dato’ Low.
Tan Sri Dato’ Low Kian Chuan
Terima kasih Yang Berhormat Dato' Setia, Yang di-Pertua kerana memberi saya peluang untuk mengambil bahagian perbahasan Rang Undang-undang Statistik 2026 di Dewan yang mulia ini. Saya menyambut baik RUU ini sebagai satu langkah penting dalam memperkukuh peranan Jabatan Statistik untuk mewujudkan sistem statistik negara yang lebih moden, bersepadu dan berasaskan data.
Penyelarasan sistem statistik yang lebih menyeluruh dan terperinci pasti akan menyokong sebarang dasar yang lebih tepat dan berkesan.
Sehubungan itu, saya ingin membangkitkan beberapa perkara untuk perhatian pihak kerajaan.
Pertama berhubung dengan aspek keselamatan dan perlindungan data. Saya memahami bahawa RUU ini bertujuan memperkukuh perkongsian serta persepaduan data daripada pelbagai agensi kerajaan. Namun, pengumpulan dan perkongsian data yang banyak meningkatkan risiko keselamatan, terutamanya ancaman kebocoran data, akses tanpa kebenaran dan penyalahgunaan maklumat peribadi.
Oleh itu, saya ingin mendapatkan penjelasan daripada pihak kerajaan mengenai mekanisme yang akan dilaksanakan untuk melindungi data awam. Ini meliputi kawalan akses data, peraturan dan audit keselamatan serta bentuk perlindungan dan mekanisme pencegahan.
Kedua, saya menyambut baik usaha untuk membolehkan data daripada pelbagai agensi kerajaan disepadukan kerana langkah ini berpotensi mengurangkan pertindihan proses pengumpulan maklumat.
Tan Sri Dato’ Low Kian Chuan
Maka saya ingin bertanya sama ada kerajaan bercadang membolehkan kementerian, agensi kerajaan, badan berkanun dan pihak berkuasa tempatan mengakses pangkalan data bersepadu untuk penggubalan dan penyelarasan dasar yang bersepadu dan selari. Langkah ini penting untuk menggerakkan pertindihan fungsi dan memastikan matlamat pembangunan nasional tercapai. Di samping itu sistem kawalan yang mengehadkan akses kepada pangkalan data kepada pengguna tertentu mestilah diwujudkan untuk melindungi keselamatan data.
Ketiga, saya ingin menyentuh kebimbangan tentang kesepaduan data agensi kerajaan, meningkatkan risiko pemantauan dan pemeriksaan penguatkuasaan. Ia berpunca daripada penggabungan profil digital yang berseluruh, ketulusan matlamat, maklumat terhad dan potensi penyalahgunaan kuasa. Justeru, pihak kerajaan perlu memberi jaminan bahawa ada ketepatan undang-undang agar pangkalan data tidak boleh dikongsi sewenang-wenangnya antara agensi, mengehadkan penggunaan kepada tujuan asal dan melindungi individu dan usaha atau syarikat daripada audit berlebihan atau tindakan penguatkuasaan tambahan.
Keempat, berhubung dengan persepaduan data daripada pelbagai agensi kerajaan. Saya minta penjelasan sama ada persepaduan data akan meliputi semua agensi dan badan berkanun seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, PERKESO, Lembaga Hasil Dalam Negeri dan lain-lain.
Kelima, memandangkan DOSM akan mempunyai kumpulan data yang lebih komprehensif saya ingin mencadangkan agar kerajaan dapat menambah baik portal data interaktif DOSM yang lebih moden dan mesra guna. Ini memudahkan penyelidik- penyelidik dan akademi menganalisis trend ekonomi dan sosial, meningkatkan ketulusan maklumat kerajaan kepada orang ramai dan membantu perniagaan dan pelabur membuat keputusan pasaran yang tepat.
Akhir sekali, saya menyokong RUU ini sebagai satu langkah ke arah membentuk tadbir urus data negara yang lebih kukuh, moden dan berdaya tahan. Dengan memperluaskan penggunaan data aspek keselamatan, privasi, ketulusan serta kemudahan akses kepada data perlu terus diberi perhatian agar manfaat ini dapat dirasai oleh kerajaan, sektor swasta dan rakyat secara keseluruhannya. Sekian, terima kasih Dato’ Yang di-Pertua.
Dato’ Setia Salehuddin bin Saidin
Terima kasih YB Tan Sri. Seterusnya, saya mempersilakan Yang berhormat Senator Datuk Wong You Fong.
Datuk Wong You Fong
Terima kasih saya ucapkan kepada Tuan Yang di- Pertua. Saya turut mengambil bahagian membahaskan Rang Undang-undang Statistik 2026.
Asasnya saya menyokong RUU ini kerana negara memerlukan satu sistem statistik yang moden, bersepadu dan diyakini. Dalam era ekonomi digital, kecerdasan buatan dan penggunaan data raya iaitu big data dengan izin, statistik rasmi bukan lagi sekadar angka malah ia merupakan asas kepada pembentukan dasar awam, perancangan pembangunan negara, pengagihan sumber, pelaksanaan program kebajikan serta penilaian keberkesanan sesuatu dasar kerajaan. Justeru, usaha memansuhkan Akta Perangkaan 1965 dan menggantikannya dengan sesuatu kerangka perundangan yang lebih komprehensif adalah langkah yang tepat dan bertepatan dengan keperluan semasa.
Tuan Yang di-Pertua, saya juga mengalu-alukan beberapa pembaharuan penting dalam RUU ini khususnya memperkukuh fungsi Jabatan Statistik Malaysia sebagai pusat simpanan data dan statistik negara, memberi penekanan kepada pembangunan standard statistik kebangsaan, memperkukuh integriti, kualiti dan kebolehpercayaan statistik rasmi serta menubuhkan Majlis Statistik Negara bagi menyelaras hala tuju pembangunan statistik negara. Namun demikian, sesuatu undang-undang yang memberi kuasa luas untuk memperoleh data daripada orang awam, syarikat dan agensi kerajaan mestilah pada masa yang sama mengandungi mekanisme semak dan imbang yang mencukupi.
Matlamat meningkatkan kecekapan pengurusan data tidak boleh mengabaikan prinsip ketelusan, kebertanggungjawaban, professionality serta perlindungan terhadap maklumat yang dikemukakan oleh rakyat. Atas semangat tersebut, izinkan saya mengemukakan tiga cadangan penambahbaikan yang saya percaya akan menjadikan RUU ini lebih mantap, lebih diyakini oleh rakyat serta selaras dengan amalan tadbir urus yang baik.
Tuan Yang di-Pertua, berhubung fasal 7 mengenai penubuhan Majlis Statistik Negara. Saya menyambut baik penubuhan Majlis ini sebagai badan yang akan memberi bantuan strategik terhadap pembangunan statistik negara. Walau bagaimanapun, saya mendapati keanggotaan Majlis pada masa ini terdiri hampir sepenuhnya daripada anggota pentadbiran, Kerajaan Persekutuan dan pegawai kanan kerajaan. Bagi saya statistik negara bukan sahaja menjadi asas kepada keputusan kerajaan malah turut digunakan oleh penyelidik, universiti, sektor swasta, pelabur dan organisasi antarabangsa.
Oleh itu, Majlis Statistik Negara seharusnya turut mendapat manfaat dari kepakaran luar kerajaan. Sehubungan itu, saya mencadangkan supaya fasal 7 dipinda bagi membolehkan pelantikan beberapa orang anggota bebas yang ada kepakaran dalam bidang statistik, ekonomi, saiz data, kecerdasan buatan, akademik atau wakil kerajaan negeri. Penyertaan mereka akan memperkayakan perspektif Majlis, meningkatkan kredibiliti dasar statistik negara serta memastikan keputusan yang dibuat lebih inklusif dan berpandangan jauh.
Tuan Yang di-Pertua, seterusnya berhubung fasal 12 yang memberi kuasa kepada Ketua Perangkawan mengarahkan mana-mana orang mengemukakan data.
Saya memahami bahawa kuasa ini amat penting bagi memastikan statistik rasmi yang dihasilkan adalah lengkap, tepat dan boleh dipercayai. Namun demikian, kuasa tersebut juga hendaklah dilaksanakan secara adil, munasabah dan berkadar. Dalam keadaan tertentu, sesebuah syarikat perusahaan kecil dan sederhana, pertubuhan atau individu mungkin memerlukan masa tambahan kerana data yang diminta melibatkan rekod lama, data daripada beberapa cawangan atau memerlukan pengesahan terlebih dahulu.
Datuk Wong You Fong
Oleh itu saya mencadangkan supaya fasal 12 dipinda dengan memperuntukkan secara jelasnya bahawa penerima notis mempunyai hak untuk memohon lanjutan masa atau mengemukakan representasi kepada Ketua Perangkawan sekiranya terdapat alasan yang munasabah.
Walaupun subseksyen 12(1) membenarkan Ketua Perangkawan memberi tempoh lanjutan, RUU ini tidak memperincikan proses atau pertimbangan yang perlu diberikan. Peruntukan yang lebih jelas akan meningkatkan kepastian undang-undang.
Kurangkan pertikaian serta menggalakkan pematuhan secara sukarela.
Pada masa yang sama, ia tidak akan menjejaskan kuasa Ketua Perangkawan untuk mengambil tindakan terhadap pihak yang sengaja mengemukakan maklumat palsu atau enggan memberi kerjasama sebagaimana yang diperuntukkan dalam subseksyen 12(5). Malah pendekatan yang mengimbangi keperluan penguatkuasaan dan prinsip keadilan pentadbiran akan meningkatkan keyakinan rakyat dan sektor perniagaan terhadap sistem statistik negara.
Tuan Yang di-Pertua, ketiga saya ingin menyentuh fasal 14 berhubung penerbitan dan komunikasi data serta statistik. Saya menghargai bahawa fasal ini bertujuan memastikan data yang dikumpulkan digunakan secara bertanggungjawab, identiti responden dilindungi dan data tersebut tidak disalahgunakan bagi tujuan percukaian atau levi. Ini merupakan satu jaminan penting untuk meningkatkan keyakinan rakyat dan menggalakkan kerjasama dalam penyediaan data.
Walau bagaimanapun, saya berpandangan bahawa perlindungan kerahsiaan sahaja tidak lagi mencukupi dalam era pendigitalan dan data raya. Apa yang sama penting ialah ketelusan mengenai bagaimana data diurus, diakses dan dikongsi.
Sehubungan itu, saya mencadangkan supaya fasal 14 dipinda atau diperkukuhkan melalui satu peruntukan yang mewajibkan Ketua Perangkawan menerbitkan dasar akses, data dan statistik termasuk kriteria permohonan akses kepada data.
Kaedah penyahanidentitian bagi melindungi identiti responden, kategori data yang boleh diterbitkan sebagai data terbuka iaitu open data dengan izin, untuk penyelidikan dan inovasi. Dan kedua atau kalendar penerbitan statistik rasmi supaya semua pengguna memperoleh akses secara adil, serentak dan telus.
Langkah ini akan meningkatkan keyakinan pengguna data, menggalakkan penyelidikan berkualiti, mengurangkan salah tafsir terhadap statistik rasmi serta memperkukuhkan reputasi Jabatan Statistik Malaysia sebagai sebuah institusi berprofesional yang bebas dan diyakini. Di samping itu, saya ingin mendapatkan penjelasan daripada Yang Berhormat Menteri.
Pertama, adakah kerajaan bercadang membangunkan satu platform data statistik bersepadu kebangsaan yang membolehkan perkongsian data secara selamat antara kementerian dan agensi sekali gus mengurangkan pertindihan permintaan data terhadap rakyat dan sektor perniagaan.
Kedua, apakah mekanisme yang akan digunakan bagi memastikan semua kementerian, agensi dan pihak berkuasa tempatan mematuhi standard statistik kebangsaan yang ditetapkan oleh Jabatan Statistik Malaysia supaya data yang dihasilkan adalah konsisten, berkualiti dan boleh dibandingkan di peringkat nasional.
Tuan Yang di-Pertua, kesimpulannya saya menyokong Rang Undang-undang Statistik 2026 ini kerana ia merupakan satu langkah penting ke arah memperkukuhkan sistem statistik negara yang lebih moden, berintegriti dan memenuhi keperluan masa.
Datuk Wira Dr. Mohd Hatta bin Md Ramli
Boleh mohon penjelasan?
Datuk Wong You Fong
Ya.
Datuk Wira Dr. Mohd Hatta bin Md Ramli
Terima kasih. Boleh Dato' Yang di- Pertua ya sedikit sahaja. Antara perkara yang ditekankan tadi itu data ini yang akan menjadi ianya lebih relevan, lebih terkini ialah timeliness. Jadi ada sebahagian data ini di-classified data, jadi adakah boleh dicadangkan supaya tempoh itu dipendekkan supaya dapat dimanfaatkan oleh orang ramai data dan tidak menjadi data yang sulit terlalu lama? Shorten the period of ini cepat-cepat di-classify untuk digunakan.
Datuk Wong You Fong
Terima kasih Yang Berhormat. Namun demikian saya berharap kerajaan dapat mempertimbangkan tiga cadangan pindaan yang telah saya kemukakan iaitu jadual atau kalendar penerbitan statistik, memperluaskan keanggotaan Majlis Statistik Negara di bawah fasal 7 yang memperjelaskan hak untuk memohon lanjutan masa atau mengemukakan representasi di bawah fasal 12. Dan memperkukuh ketelusan akses dan penerbitan data di bawah fasal 14 melalui dasar akses data penyahanidentitian dan penerbitan data terbuka.
Saya percaya penambahbaikan ini akan menjadikan akta ini bukan sahaja lebih berkesan dari sudut pentadbiran malah lebih diyakini oleh rakyat, komuniti, penyelidik dan sektor industri. Dengan ini, saya menyokong Rang Undang-undang Statistik 2026 ini. Sekian, terima kasih.
Dato’ Seri Setia Salehuddin bin Saidin
Terima kasih kepada YB Senator Datuk Wong. Seterusnya saya mempersilakan YB Senator Dr. Jufitri bin Joha.
Dr. Jufitri bin Joha
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam sejahtera. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Kita pernah mendengar kisah bahawa bayi dibawa oleh bangau dan pernah data menyebutkan bahawa di mana ada populasi bangau yang banyak maka pastinya ada bayi yang banyak.
Dan itu disokong dengan oleh statistik dan kita lihat di situ betapa mudahnya orang akan mempercayai apabila sesuatu fakta itu didukung dengan statistik tetapi malangnya perkara yang saya sebutkan itu tidak benar.
Oleh itu saya nak kembali balik Tuan Yang di-Pertua kepada falsafah data penting apabila kita membahaskan sesuatu rang undang-undang yang bersifat teknikal untuk kita letakkan asas yang sangat kukuh sebagaimana yang telah dibincangkan dan diperdebatkan oleh sahabat-sahabat saya sebelum ini terutamanya Prof. Dr. Redzuan yang menampilkan beberapa falsafah data yang sangat menarik.
Antaranya ialah pembahagian dengan data statistik yang kita ada ini akan membolehkan kerajaan untuk memberikan pembahagian yang lebih adil daripada sumber-sumber negara yang ada. Kemudian menangani, mengurus sumber negara supaya diagihkan kepada rakyat yang terbawah dan mengikut segmen sebagaimana yang disebutkan dalam Al-Quran [Membaca sepotong ayat Al-Quran] Supaya harta kekayaan, kemewahan negara, hasil masyhur negara itu boleh diagih-agihkan kepada seluruh rakyat Malaysia dengan adil tanpa mengira bangsa, kaum dan agama.
Sebab itu falsafah data sangat penting dan lebih penting lagi data sebagaimana yang disebutkan sebelum ini data menunjukkan apa yang sedang berlaku dan tentu pihak yang memberikan makna dalam konteks ini kita lihat Jabatan Statistik dan juga Majlis Statistik yang akan ditubuhkan untuk memberikan konteks dan makna dan mengapa ia berlaku dan bagaimana kita boleh menyelesaikan permasalahan tersebut.
Sebab itu bagi saya, saya melihat rang undang-undang ini penting sebagaimana sahabat-sahabat kita sebelum ini memandang bahawa rang undang-undang ini sangat penting. Pertama sekali adalah untuk meletakkan Jabatan Statistik diberikan fungsi yang lebih jelas.
Dan keduanya penubuhan yang penting sebuah Majlis yang merupakan langkah yang amat baik bagi menyelaras dasar statistik di peringkat tertinggi kerajaan dan sehingga kalau boleh kita citrakan adalah supaya data bukan sahaja data-data makro tetapi kita boleh mengumpul data-data mikro.
Sebagai contoh di mukim-mukim, di daerah supaya daerah-daerah kita ini boleh membangunkan daerah-daerah mereka berdasarkan data-data mikro yang sangat penting. Perbualan saya dengan Profesor Azlan daripada (MINDA-UKM), beliau menyebutkan bahawa kita kurang data-data mikro.
Supaya kita boleh gunakan data-data mikro ini untuk menunjukkan keadaan sebenar yang berlaku di lapangan supaya pihak-pihak yang berwajib contohnya majlis daerah, pejabat daerah, pegawai daerah boleh merancang dan boleh menyiapkan pelan pembangunan ke depan berdasarkan data-data mikro yang ada.
Dr. Jufitri bin Joha
Justeru, saya suka untuk memberikan empat komen berdasarkan RUU yang telah dibentangkan oleh Timbalan Menteri sebentar tadi. Yang pertama sekali, sebagaimana juga yang disebut oleh beberapa Ahli Dewan bahawa penting untuk kita menyemak keanggotaan Majlis Statistik ini supaya dia bersifat representatif dan juga melibatkan wakil-wakil pihak universiti awam, pakar kajian statistik dan kemudian mungkin wakil-wakil kerajaan negeri supaya kita boleh memberikan peranan yang signifikan dan memberikan representasi yang menyeluruh dalam keanggotaan Majlis Statistik Negara.
Perkara yang kedua yang saya hendak sentuh, Dato’ Yang di-Pertua adalah autonomi dan tadbir urus institusi. Sejauh mana badan Jabatan Perangkaan ini boleh bersifat bebas dan mempunyai autonomi daripada campur tangan politik dan kita tahu bahawa Majlis ini akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri. Contohnya dengan izin, Statistics and Registration Service Act UK 2007 mewujudkan UK Statistics Authority yang berstatus bebas, mandiri, bukan bersifat jabatan di bawah mana-mana kementerian ataupun kerajaan malah ia bertanggungjawab kepada institusi Parlimen.
Pertanyaan saya Tuan Yang di-Pertua, struktur pelantikan Ketua Perangkawan sama ada dilantik oleh badan Eksekutif atau Parlimen? Itu persoalan yang mungkin kita memohon jawapan daripada pihak Menteri. Wajar jika pelantikan Ketua Perangkawan disaring oleh sebuah Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen bagi jawatan-jawatan utama sektor awam. Hal ini akan menjamin sama ada kredibiliti, pengalaman dan pengetahuan seseorang Ketua Perangkawan yang dilantik, governance ataupun tatakelola yang baik.
Memandangkan penggunaan wang awam, sewajarnya maka memerlukan satu mekanisme semak dan imbang di Parlimen sama ada untuk meneliti dasar dan kewangan Majlis Statistik Negara dilaporkan ke dalam Parlimen.
Hal ini Tuan Yang di-Pertua, bertujuan untuk menambah baik atau semak dan imbang ataupun dengan izin, check and balance pengurusan dalam Majlis Statistik Negara.
Soalan yang ketiga yang saya mahu bangkitkan, konflik antara keperluan, ketulusan, kebebasan maklumat dengan kerahsiaan, dengan izin, statistik individu ataupun responden. Hubungan antara RUU Statistik dengan RUU Kebebasan Maklumat yang masih lagi kita tunggu-tunggu sejak tahun lepas, di mana-mana negara selalunya bersifat dengan izin, structural tension. Hal ini kedua-dua berada di atas falsafah bertentangan yang perlu diselaraskan melalui rang undang-undang tertentu.
Kebanyakan kita lihat Tuan Yang di-Pertua, Statistics Act mempunyai peruntukan kerahsiaan mutlak ataupun dengan izin, statistical confidentiality yang mengatasi Akta Kebebasan Maklumat ataupun ringkasnya Freedom of Information (FOI) Act. Contohnya, data individu tidak boleh didedahkan walaupun di bawah sepina mahkamah dalam sesetengah bidang kuasa. Sewajarnya undang-undang statistik seperti ini harus diformulasi bersesuaian dengan Akta Kebebasan Maklumat yang sekali lagi kita masih tunggu akta ini.
Kita berada di era maklumat mudah, sekelip mata dan berada di mana-mana.
Justeru itu, harus ada garis halus di antara RUU Statistik yang kita sedang bentangkan ini, yang kita sedang debatkan ini, yang menyimpan data kerajaan dan RUU Kebebasan Maklumat boleh diintegrasikan bersama-sama. RUU Kebebasan Maklumat yang baik adalah undang-undang yang selari dengan semangat di bawah Perkara 10 Perlembagaan yang kita dukungi bersama berhubung dengan hak warganegara, berhak mendapat kebebasan bersuara iaitu kebebasan mendapatkan maklumat di bawah peruntukan Perlembagaan Persekutuan.
Yang terakhir Tuan Yang di-Pertua yang saya suka untuk bangkitkan pada petang ini— kedua terakhir. Seharusnya integriti dan kualiti data, seharusnya sesebuah undang-undang yang baik harus mengkanunkan kod etika amalan statistik yang baik ataupun dengan izin, code of practice for statistic sepertimana yang ada di negara maju seperti United Kingdom. Kod prinsipal di UK ini menekankan tiga prinsip penting. Ini prinsip penting yang akan menjadi the guiding principal kepada perkara ini iaitu yang pertama sekali ialah kebolehpercayaan ataupun trustworthiness.
Keduanya, sudah tentu kualiti yang disebutkan oleh pembahas, pendebat sebelum ini iaitu kualiti dan juga yang paling penting, yang akan memberikan makna kepada data-data ini adalah nilai-nilai. Itulah yang akan memberikan makna yang betul, yang akan menangani isu-isu masyarakat di bawah dengan makna yang betul diberikan kepada data tersebut dan ini tiga falsafah, tiga elemen, tiga ciri yang menjadi falsafah penting bagi seseorang yang bekerja dengan data dan saya yakin ramai pengkaji- pengkaji di sini bahawa ini yang menjadi panduan kepada pengkaji-pengkaji data menerbitkan statistik yang boleh dipercayai dan beretika tidak sebagaimana yang saya sebutkan perumpamaan pada awal tadi iaitu seperti bangau di mana ada bangau yang banyak, di situ ada bayi yang banyak.
Jadi Tuan Yang di-Pertua, hal ini signifikan sebagai instrumen soft law yang mengikat secara etika bukan selalunya berbentuk statutori penuh. Etika dan isu tanggungjawab pegawai-pegawai perangkawan yang boleh dipandu oleh Majlis Statistik dapat disuntik dengan nilai-nilai baik seperti profesional, amanah, berintegriti dalam undang-undang ini supaya mereka menanam nilai etika tinggi di dalam menjalankan tanggungjawab mereka.
Terakhir Tuan Yang di-Pertua, saya mengharapkan dengan RUU yang sangat baik, yang disebutkan oleh Timbalan Menteri sebagai sebahagian daripada reformasi yang kita dambakan, yang terakhir saya hendak ketengahkan adalah statistik bagi golongan rentan.
Saya juga ingin melihat RUU ini sebagai pemangkin, sebagai catalyst kepada penghasilan statistik yang lebih komprehensif dan juga berkualiti yang berkaitan dengan warga emas, orang kurang upaya (OKU), wanita, kanak-kanak, masyarakat orang asli, pekerja gig, belia terutamanya kerana saya nak tutup bahawa belia sedang berhadapan dengan cabaran yang cukup mencabar. Kita perlukan data-data dan realiti semasa sebagaimana yang disebutkan oleh Profesor James Canton dalam bukunya The Extreme Future bahawa anak muda kita ini akan berhadapan dengan satu masa depan yang sangat mencabar.
Jadi, kita kena persiapkan anak-anak muda ini untuk menjadi the future, bukan future frustrated youth, tetapi the future smart youth. Sudah tentu untuk perancangan ini, kita perlukan data-data statistik yang baik untuk rancang untuk kebaikan belia dan masyarakat seluruhnya. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Saya mohon mendukung RUU ini. Terima kasih.
Dato’ Setia Salehuddin bin Saidin
Terima kasih. Menarik sekali perbahasan yang dibangkitkan oleh YB tadi ya. Untuk YB ini, saya nak beri sikit pantun.
Pucuk pauh delima batu, Anak sembilang di tapak tangan; YB berhujah padat dan padu, Semoga Menteri dapat pertimbangkan. Seterusnya saya menjemput Senator Dato’ Wu Him Ven.
Dato’ Wu Him Ven
Dato' Yang di-Pertua, terima kasih kerana memberi saya peluang untuk membahaskan Rang Undang-undang Statistik 2026 ini. Pertama sekali, saya ingin mengucapkan syabas kepada Kementerian Ekonomi dan Jabatan Perangkaan Malaysia kerana akhirnya membawa pembaharuan kepada Akta Perangkaan 1965 yang telah diguna pakai selama 61 tahun.
Fasal 5 RUU ini yang memperkukuh fungsi Jabatan Statistik Malaysia sebagai pusat repositori data dan serta statistik adalah langkah yang tepat pada masanya selaras dengan keperluan era digital. Penubuhan Majlis Statistik Negara juga merupakan usaha yang wajar untuk memantapkan tadbir urus sistem statistik negara. Kelayakan [Tidak jelas] Ditetapkan untuk jawatan Ketua Perangkawan termasuk ijazah sarjana atau kedoktoran serta 20 tahun pengalaman juga menunjukkan komitmen kerajaan terhadap profesionalisme ini semua ada telah perkara yang patut disokong.
Dato’ Wu Him Ven
Namun Tuan Yang di-Pertua, kelulusan sesuatu akta bukan sekadar tentang niat baik tetapi tentang ketepatan setiap fasal dalam perlindungan rakyat dan perniagaan.
Izinkan saya membangkitkan dua kebimbangan utama. Dato' Yang di-Pertua, fasal 7 RUU ini menetapkan keanggotaan Majlis Statistik Negara terdiri daripada Perdana Menteri sebagai Pengerusi, Menteri Ekonomi, tidak lebih lapan Menteri Persekutuan, Ketua Setiausaha Negara, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam dan Ketua Perangkawan sebagai Setiausaha. Semua ahli adalah pegawai kerajaan yang— atau Ahli Kabinet. Tidak ada seorang pun ahli akademik bebas, pakar statistik [Tidak jelas] Kerajaan mahupun wakil sektor swasta.
Kerajaan sendiri sudah pernah membuktikan model yang lebih inklusif ini boleh berfungsi. Majlis Statistik dan Data Negara (MSDN) yang sedia wujud pada hari ini merangkumi bukan sahaja Menteri berkaitan, tetapi juga wakil akademik, sektor awam dan sektor swasta serta industri dengan Jabatan Perangkaan Malaysia bertindak sebagai sekretariat. Jadi soalan saya kepada kerajaan, kenapa RUU ini tidak meneruskan atau memperkukuhkan model MSDN yang sedia ada, sebaliknya menubuhkan Majlis baharu yang lebih tertutup dan hanya terdiri daripada pegawai kerajaan semata-mata? Ini bukan kes di mana kerajaan tidak tahu bagaimana penglibatan pakar luar. Kerajaan sudah tahu, sudah pernah buat dan berjaya, tetapi RUU ini memilih untuk berundur daripada amaran baik sendiri.
Fungsi utama majlis yang baharu ini adalah untuk menilai dan mengesahkan standard dan tatacara statistik, satu tugas yang bersifat teknikal dan profesional. Jadi model MSDN yang melibatkan akademi dan industri sudah terbukti berfungsi. Mengapa RUU ini tidak mengekalkan sekurang-kurangnya tahap keterlibatan yang sama?
Saya juga ingin bertanya, adakah Majlis Statistik Negara yang baru ini akan menggantikan sepenuhnya MSDN atau kedua-duanya akan wujud serentak? Jika kedua-dua wujud, bagaimana bidang kuasa masing-masing dibezakan dan yang manakah akan menjadi rujukan utama bagi penggubalan standard statistik negara?
Dato’ Yang di-Pertua, fasal 12 RUU ini memberi kuasa yang sangat luas kepada Ketua Perangkawan untuk mengarahkan mana-mana orang mengemukakan data yang semunasabahnya boleh didapati dengan penalti sehingga RM50,000 dan denda harian RM2,000 bagi kesalahan ketelusan. Ketua Perangkawan juga berkuasa menentukan sama ada sesuatu data tidak benar, tidak tepat dan tidak lengkap, tetapi di mana mekanisme rayuan RUU ini tidak menyediakan sebarang saluran bagi seseorang yang terkena arahan Ketua Perangkawan untuk merayu atau mencabar keputusan tersebut sekiranya mereka berpandangan arahan itu tidak munasabah, terlalu luas skopnya atau salah tafsir, terhadap data yang dikemukakan.
Bandingkan ini dengan Confidential Information Protection and Statistical Efficiency Act (CIPSEA) Amerika Syarikat yang membeli mekanisme persetujuan maklum kepada responden sebelum data-data mereka digunakan untuk tujuan selain statistik atau Artikel 89 GDPI, Kesatuan Eropah yang mensyaratkan sebarang pengecualian daripada hak individu mesti disertai rangka perlindungan.
Yang jelas, RUU kita tidak mempunyai sebarang mekanisme sedemikian. Tanpa saluran rayuan yang jelas, kuasa yang diberikan kepada satu individu iaitu Ketua Perangkawan menjadi kuasa malah pula yang tidak boleh disemak. Saya menggesa kerajaan memperkenalkan pindaan untuk mewujudkan mekanisme rayuan sama ada kepada Majlis Statistik sama ada mahupun kepada tribunal bebas bagi mana-mana pihak yang terkilan dengan arahan atau keputusan Ketua Perangkawan. Sekian, terima kasih. Saya mohon menyokong.
Dato’ Setia Salehuddin bin Saidin
Terima kasih YB Senator Dato' Wu.
Seterusnya saya menjemput YB Senator Puan Rita Sarimah.
Puan Rita Sarimah anak Patrick Insol
Terima kasih Dato' Yang di-Pertua.
Honestly, bila giliran sudah sampai ke 16, jadi banyak perkara yang nak diutarakan telah disebut dengan baik oleh YB-YB yang telah berbahas terdahulu daripada saya. Namun demikian, saya cuma nak menyentuh dua perkara sahaja Dato' Yang di-Pertua, iaitu berkaitan dengan integriti statistik negara dan kedua penghasilan statistik yang inovatif sejajar dengan pemerkasaan Jabatan Statistik melalui rang undang-undang ini.
Saya telah membandingkan Undang-undang Statistik yang ada sekarang dengan yang baru ini dan ada dua perubahan yang ketara adalah penubuhan fungsi Majlis Statistik Negara dan jawatankuasa dan of course fungsi Jabatan Statistik yang digariskan di bawah seksyen 5, fungsi majlis di bawah seksyen 9 dan juga jawatankuasa di bawah seksyen 17.
So, saya melihat peruntukan seksyen-seksyen tersebut sebagai peruntukan yang memperkasakan lagi Jabatan Statistik. Oleh yang demikian, saya berharap Jabatan Statistik akan membuat statistik yang lebih inovatif yang diperlukan oleh negara, bukan sekadar apa yang dah ada sekarang. Antaranya statistik yang saya maksudkan— because kita ancaman daripada alam, perubahan iklim, bencana alam and all that. Saya, perlulah pada pendapat saya, kita ada statistik tentang pelepasan karbon dan kualiti udara dan juga risiko bencana alam dan sumber air dan sebagainya. Those are the kind of statistic yang kita perlu ada.
Then yang kedua adalah satu perkara saya rasa because kita menyebut tentang iltizam kerajaan nak memperbaiki tadbir urus dan sebagainya.
Puan Rita Sarimah anak Patrick Insol
Jadi, perlu ada statistik tentang takbir urus ya, bagaimana prestasi penyampaian perkhidmatan awam, bagaimana prestasi mungkin integriti dan rasuah itu memang dah ada, tapi berkaitan dengan takbir urus. So, those saya rasa banyak lagilah yang statistik- statistik yang inovatif yang amat diperlukan. Dalam pengalaman saya sebagai Senator, bila nak buat rujukan, research dan sebagainya, sukarlah untuk mendapatkan data-data yang tepat, yang that we are comfortable itu memang adalah data yang betul.
Dan kedua, when we deal with statistic, kita— pertama kita deliver dengan metodologi. Jadi, metodologi ini bagaimana ia dilakukan, apakah sampling population kita? Adakah sampling itu mencukupi? Adakah segmen-segmen population itu sudah di- interview ataupun dikumpulkan data? That’s is very important, pengumpulan data.
Dan juga bagaimana data-data tersebut diterjemahkan. Statistic we deal with numbers. Kita tahu tenancy untuk buat kesilapan bila kita deal with numbers memang ada. Jadi, saya melihat di dalam rang undang-undang ini tiada satu jawatankuasa atau badan yang overside untuk menasihat. Memang ada Majlis Statistik Negara, tetapi kalau kita melihat komposisi Majlis itu adalah Perdana Menteri, Menteri, Menteri Kerajaan, KSN, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, KSU, Ketua Perangkaan. Bak kata orang, itu orang yang high, high.
Jadi, both guidelines, panduan yang awam sorry, yang am mungkin boleh dibuat.
I’m not saying that they can’t, but you have to looked at the nature of the job. Dia tak adalah masa hendak relate with and seat down and then memberi direction tentang panduan, guidelines yang perlu. Jadi, saya cadangkan di bawah seksyen 11 ini memberi kuasa kepada Jabatan Statistik untuk menubuhkan jawatankuasa.
Jadi, bolehlah ditubuhkan jawatankuasa sebagai untuk membantu ataupun untuk memberi panduan dan sebagainya dan juga boleh kind of [Tidak jelas] Ke atas statistik yang telah dibuat. Because for the purpose of the accuracy dan bolehlah tadi saya rasa Dato’ Wong dah cadangkan supaya ada keahlian daripada panel daripada orang luar.
You know that. Jadi, bagaimana bentuk kawalan itu I know sensitive is very— statistic is very sensitive matter. Mungkin tidak perlu— bagaimana boleh menjagakan kerahsiaan, dapatan dan sebagainya tetapi masih boleh mendapatkan khidmat nasihat, khidmat panduan daripada panel yang pakar, daripada luaran untuk membantu untuk memastikan bahawa metodologi dan sebagainya ketepatan itu dah ada.
Jadi, Dato’ Yang di-Pertua, saya cuma ada dua perkara itu sahaja yang nak saya sumbangkan kepada perbahasan pada hari ini. Dan tadi, Yang Berhormat sebelah saya cakap buatlah ucapan bye, bye.
Jadi, tempoh saya sebagai Senator akan tamat pada hujung bulan November.
So, Dato’ Yang di-Pertua, ini adalah ucapan saya terakhir di Dewan yang mulia ini. Jadi, saya mengambil kesempatan ini mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong atas pelantikan ini.
Begitu juga dengan kepada Yang Amat Berhormat Ketua Menteri, Yang Amat Berhormat Premier Sarawak atas pencalonan masing-masing. Dan juga kepada Yang di-Pertua Dewan Negara, Timbalan Yang Pertua Dewan Negara dan juga Ahli-ahli STAR di dalam Dewan Negara yang telah memberi tunjuk ajar, yang telah memberi bimbingan, yang telah memberi kerjasama kepada saya dalam kapasiti perseorangan dan dalam kapasiti saya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Semakan Undang-undang.
Dan kepada kawan-kawan, Ahli-ahli Yang Berhormat yang ada di sini, it has been a privilege to get to know all of you.
Dan saya mengucapkan— saya mohon maaflah sekiranya ada salah tutur bahasa maybe in the course of our debate. I make no apology. Saya— bila isu-isu berkaitan dengan Sarawak, saya mungkin orang menyatakan bahawa ada mementingkan Sarawak lebih daripada Persekutuan, tapi tidak mestinya begitu.
Because I am from Sarawak, siapa lagi yang akan— you know speak for Sarawak right kalau bukan saya sebagai anak Sarawak. Namun demikian, I am also Malaysian dan saya juga bercakap tentang perkara yang baik untuk Malaysia.
Seperti ini, yang statistik ini. So, saya mengucapkan terima kasih kepada semua, mohon maaf kepada semua. Dan harap kawan-kawan yang lain akan meneruskan perjuangan yang akan sentiasa ada pada kita. Bagi saya, saya harap kalau datang ke Sarawak nanti, you can call me dan kita ngopi bersama. Terima kasih, Dato’ Yang di- Pertua [Tepuk] .
Dato’ Setia Salehuddin bin Saidin
Terima kasih, YB Senator Rita. Kami juga mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan terima kasih kepada YB Senator Puan Rita yang telah banyak menyumbangkan jasa bakti kepada Dewan Negara ini.
Beliau sentiasa memberikan hujah-hujah yang bernas, sentiasa memberikan idea-idea yang bernas. Dan saya percaya kehadiran YB Puan Rita amat-amat kita rindui di masa- masa akan datang.
Dan kita mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan selamat maju jaya kepada YB Puan Rita, semoga YB Puan Rita dapat kita ketemu semula di lain bidang, di lain arena, insya-Allah. Terima kasih, YB Puan Rita [Tepuk] Seterusnya, saya menjemput pembahas terakhir kita pada hari ini, iaitu YB Senator Tuan Haji Hussin bin Ismail. Kita masih ada waktu yang panjang. YB Senator Tuan Haji Husin bolehlah mengambil sikit masa. Kalau nak lebih pun, saya bagi kebenaran sekarang.
Tuan Haji Hussin bin Ismail
Lesen besar itu [Ketawa] .
Dato’ Setia Salehuddin bin Saidin
Silakan.
Tuan Haji Hussin bin Ismail
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Dato’ Yang di-Pertua, terima kasih atas ruang yang turut sama diberikan kepada saya.
Dan sebagai pembahas terakhir. Dah 16, 17 orang di depan dah habislah. Jadi saya cuma jadi polishing sajalah.
Dato’ Setia Salehuddin bin Saidin
Tapi YB Hussin selalu ada idea baharu.
Tuan Haji Hussin bin Ismail
Yang keduanya, saya pula juga terasa macam tersedu juga apabila Majlis akhir ini macam jadi majlis perpisahan. Kalau pantun lama- lama dulu, disebut...
Kalau ada sumur di ladang; Boleh saya menumpang mandi; Kalau ada umur yang panjang; YB Puan Rita nanti di Sarawak kita jumpa lagi.
Dato’ Setia Salehuddin bin Saidin
Insya-Allah.
Tuan Haji Hussin bin Ismail
Saya ambil sentuh sikit-sikit yang mungkin saya fikir. Saya pun tak tahu sebab saya tak banyak dalam Dewan tadi. Kebetulan dekat luar.
Jadi saya lihat apa yang dah banyak sangat disentuh dari sahabat-sahabat, saya skip-lah supaya walaupun ada masa yang agak sikit panjang, kawan-kawan mungkin tak dengar celoteh yang mungkin berulang, tetapi yang saya fikir, suatu benda yang kita bicara hari ini tentang isu RUU, statistik. Ada suatu benda yang aset zaman ini. Zaman sekarang ni orang macam ada satu pepatah, dia sebut, ‘data is the new oil’.
Aset baharu dunia sekarang. Dulu siapa yang punya minyak, mereka menguasai ekonomi. Sekarang siapa yang menguasai data, dia yang menguasai ekonomi digital.
Dia menguasai AI, dia menguasai pelbagai. Syarikat yang mempunyai data yang banyak, dia akan dapat cepat berkembang. Negara yang mempunyai data yang tepat, yang berintegriti, yang cukup, dia mempunyai upaya untuk merancang, mengolah, membina, membaiki negara dan rakyatnya dengan cara yang lebih cepat, lebih powerful, lebih berintegriti.
Sebab itu bila demand data, nilai data, menjadi suatu yang sangat berharga hari ini Dato’ Yang di-Pertua eksploitasi data, salah guna data, jual beli data, menjadi suatu yang punya demand yang tinggi.
Tuan Haji Hussin bin Ismail
Akibatnya, bukan saja peribadi orang dicerobohi, kedaulatan negara, kedaulatan pertahanan, kedaulatan segala-galanya boleh dirubah melalui data. Oleh sebab itu, saya fikir yang perlu saya nak sentuh sikit-sikit dalam ruang waktu yang berbaki, yang sudah disebut oleh semua kawan-kawan ini, bagaimana upayanya Yang Berhormat Menteri untuk kita nak memastikan kedaulatan data?
Mungkin betul kata istilah saya. Kedaulatan data kita tu, yang kita kutip dengan integriti yang betul, dengan ketepatan yang lain-lain tu tidak disalah lakukan dan tidak disalah gunakan oleh orang lain untuk mengeksploit kita, rakyat kita dan negara kita.
Saya teringat ada satu ayat Al-Quran yang mungkin ada kaitan dalam soal ini.
Sebab data ini hak peribadi, data ini adalah hak institusi, data ini adalah hak negara yang harus dilihat sebagai satu nilai yang punya kedaulatan yang besar yang perlu dipelihara.
Allah SWT menyebut [Membaca sepotong ayat Al-Quran] Yang maksudnya lebih kurang relate dengan menjaga kedaulatan hal ini, data peribadi mahupun negara. Allah SWT telah menyebut, “Wahai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan daripada sangkaan”, kerana data orang boleh eksploit. “Sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan itu dosa.” Jangankan mengintip, mencari kesalahan orang lain melalui data-data yang kamu perolehi, mengintip data orang lain, mencuri data orang lain, hak peribadi mereka termasuk dalam ruang lingkup ini. “Dan janganlah sebahagian kamu mengumpat sebahagian yang lain. Adalah sesungguhnya seseorang daripada kamu, suka kah kamu jika kamu diibaratkan memakan daging saudara mu yang sudah mati.” Sudah tentu kamu merasa jijik kepadanya.
Allah sebut “Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah maha menerima taubat lagi maha mengasihani”. Suratul Hujurat ayat 12 yang saya relate-kan dengan ayat ini dari sudut kerahsiaan, dari sudut mengawal, menguasai, menjaga kerahsiaan, apatah lagi ini membabitkan kerahsiaan negara.
Saya sentuhkan hari ini baru dan hangat yang dalam ingatan kita. Bukan sekadar orang biasa, pegawai tinggi tentera juga menjual dan membocor data negara. Dan ini suatu benda yang ter-relate, terkait apa yang kita bicarakan tentang fasal yang ke berapa ya, yang terkait dengan soal pembocoran data.
Di sini kalau kita tengok, orang yang tak beri maklumat, dihukum dengan hukum yang berat-beratlah dengan RM50,000 atau daily RM2,000, tapi orang yang membocorkan maklumat, sikit je RM10,000. Satu maklumat yang di bocor bukan kesan kepada satu individu. Dia mungkin memberikan kesan kepada rakyat mahupun memberi kesan kepada negara.
Saya rasa kementerian, Menteri boleh tengok juga sikit ni, dalam bab lain kadang-kadang kita letak atas satu kesilapan boleh didenda ratusan ribu, tapi yang ini, pihak-pihak yang terbabit yang membocorkan data cuma diberikan suatu denda yang sangat tidak sepadan. Pulangan yang mereka perolehi daripada jualan data mereka.
Pembocoran data mereka jauh lebih besar, tapi denda yang mereka kenakan, dijanjikan dengan RM10,000.
Dato’ Yang di-Pertua, saya juga ingin mengambil sedikit ruang yang ada ini untuk melihat dari sudut satu sudut lagi yang mungkin saya rasa tak banyak disentuh di dalam perbahasan tadi iaitu ketiadaan perwakilan wajib dalam Majlis Statistik Negara.
Sebenarnya disebutkan kementerian-kementerian, lapan kementerian dengan pihak-pihak yang lain, tapi data ini antara benda yang sangat memerlukan perkongsian data. Termasuk dari segi nak execute dia dan juga nak membuat pengumpulannya, iaitu negeri.
Kita ada 14 negeri dalam seluruh negara tetapi dalam peruntukan ini saya lihat macam ketiadaan wakil wajib mandatori daripada kerajaan negeri dalam Majlis Statistik Negara.
RUU ini mencadangkan penubuhan Majlis Statistik Negara untuk menentukan dasar, strategi dan penyelarasan maklumat statistik negara ini dan ini merupakan satu langkah strategik yang sangat baik dan perlu diberi dukungan, tetapi struktur yang terlalu terpusat di Persekutuan sahaja. Tentu jawapannya ada. Ya daripada Persekutuan dialah yang akan pindah ke negeri, tapi rasa ownership-nya rasa kebertanggungjawabannya dan rasa keperluan data langsung untuk mereka juga turut sama dalam mengolah, merancang maklumat negeri melalui data yang ada itu saya fikir perlu dipertimbangkan.
Struktur yang saya sebutkan terlalu berpusat di Persekutuan ini, peruntukan keanggotaan Majlis di bawah fasal 7 dilihat yang saya sebut tu macam sangat terpusat kepada kementerian, agensi-agensi Persekutuan tanpa peruntukan mandatori daripada wakil rasmi kerajaan negeri mungkin perlu diberikan sikit perhatian.
Keperluan data mikro mengikut geografi tempatan, subnasional data, kerajaan negeri di Sabah, di Sarawak mahupun di Semenanjung memerlukan data khusus mengikut daerah dan PBT seperti data sektor pertanian, hakisan pantai, paras kemiskinan di peringkat tempatan untuk merancang belanjawan negeri masing-masing.
Saya tidak menafikan bahawa memang data ini boleh disalurkan terus, tapi penglibatan mereka tu saya fikir wajar.
Mengiktiraf semangat federalisme dalam pengurusan data. Kita kan sebuah federalisme. Kebersamaan dalam suatu jabatan strategik saya fikir adalah suatu yang perlu dipertimbangkan.
Malaysia sebagai sebuah negara Persekutuan, pengurusan data berkaitan tanah, sumber asli yang memang sebahagian itu hak negeri, terkait dengan alam sekitar dengan air dengan tanah dengan lain-lain. Pihak berkuasa tempatan berada di bawah senarai negeri atau senarai bersama Perlembagaan Persekutuan. Yang seterusnya yang terkait juga ialah untuk mengelakkan jurang keutamaan antara Persekutuan dan negeri tanpa suara tetap kerajaan negeri. Bukan saya sebut dalam konteks Terengganu, kita seluruh negara ini.
Dan dalam Majlis Statistik Negara, dasar pengumpulan data mungkin hanya menumpukan keutamaan makro Persekutuan dan mengabaikan keperluan statistik- statistik peringkat wilayah.
Dan pengukuhan keupayaan unit perancang negeri dalam penglibatan ini mungkin juga akan jadi boleh dipertingkatkan. Kerjasama rapat-rapat antara jawatankuasa statistik Malaysia, Jabatan Statistik Malaysia (JSM) dan kerajaan negeri akan memperkasakan lagi kapasiti penganalisaan data di peringkat negeri bagi membangunkan wilayah yang lebih seimbang.
Saya kalau dianggap boleh lihat sebagai satu soalan, mengapa Kerajaan Persekutuan tidak masukkan peruntukan ini dalam akta RUU yang kita bahaskan hari ini. Saya fikir walaupun masih ada, tempoh itu dah merah Dato’ Yang di-Pertua. Saya faham dan saya mohon untuk menamatkan perbahasan saya dan saya menyokong RUU ini dan dengan harapan untuk di perkasa dan ditambah baik supaya insya-Allah ia akan memberi kesan kepada bukan peringkat federal sebagai roh federal, tetapi atas roh semangat federalisme yang membabitkan negeri-negeri di seluruh negara.
Terima kasih. Saya juga ingin menyokong. *Wabillahi taufiq wal-hidayah.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.*
Dato’ Setia Salehuddin bin Saidin
Terima kasih Yang Berhormat Senator Hussin, Tuan Haji Hussin dan sebelum kita jemput Ahli Yang Berhormat Timbalan Menteri untuk menggulung, saya sikit nak bagi pantun kepada Yang Berhormat Rita.
Ke pasar berhajat membeli suasa, Sempat juga membeli delima; Jasa Senator Rita harum sentiasa, Terpahat kukuh di sepanjang masa. Terima kasih.
[Tepuk] Seterusnya, saya menjemput Yang Berhormat Timbalan Menteri untuk menggulung.
Timbalan Menteri Ekonomi - Dato’ Indera Mohd Shahar bin Abdullah
Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam sejahtera, salam Malaysia MADANI. Dato’ Setia Yang di-Pertua, pertamanya saya ingin merakamkan ucapan penghargaan kepada 17 orang Ahli-ahli Yang Berhormat yang telah menyertai perbahasan Rang Undang-undang Statistik 2026.
Berdasarkan pemerhatian saya di atas perdebatan perbahasan yang dikemukakan oleh semua Ahli-ahli Yang Berhormat sebentar tadi, izinkan saya untuk menjawab perkara yang dibangkitkan oleh Ahli Yang Berhormat berdasarkan isu-isu utama seperti berikut. Pertamanya, berkaitan kredibiliti data.
Yang keduanya, arahan mengemukakan data, perkongsian dan keselamatan data, kriteria pelantikan Ketua Perangkawan, banyak juga yang disentuh berkaitan Majlis Statistik Negara, manfaat Rang Undang-undang Statistik 2026. Juga disentuh berkaitan penalti kegagalan bekalan data oleh individu atau syarikat dan semakan penalti. Dato’ Setia Yang di-Pertua, saya juga ucapkan terima kasih kerana majoriti dan kesemua ke- 17 pembahas Ahli Yang Berhormat menyokong Rang Undang-undang Statistik yang telah saya bentangkan sebentar tadi.
Berkaitan yang pertama, isu kredibiliti data yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Senator Dr. Hajah Wan Martina, Yang Berhormat Senator Dato’ Prof.
Emeritus Dr. Mohammad Redzuan, Yang Berhormat Senator Puan Hajah Norhasmimi, Yang Berhormat Senator Tuan Haji Musoddak bin Ahmad, Yang Berhormat Senator Che Alias dan Yang Berhormat Senator Datuk Rosni serta Senator Dr. Jufitri. Mereka, Ahli- ahli Yang Berhormat membangkitkan kredibiliti data yang merupakan elemen kritikal dalam proses pembuatan keputusan berdasarkan bukti.
Untuk makluman Yang Berhormat, rang undang-undang ini bertujuan yang pertamanya memperkukuhkan sistem tadbir urus sistem statistik negara. Yang keduanya, memperkasakan peranan NSO di mana Jabatan Statistik Malaysia sebagai National Statistical Office. Yang ketiganya, meningkatkan penggunaan data pentadbiran dalam penghasilan statistik rasmi dan yang keempat adalah untuk kita memastikan evidence based decision making. Selaras dengan itu Ahli Yang Berhormat, peranan Jabatan Statistik Malaysia sebagai pusat repositori data dan statistik akan diperkukuhkan untuk kita mengintegrasi data dari pelbagai sumber bagi tujuan penyediaan statistik rasmi negara. Repositori ini akan menjadi sebahagian satu platform untuk meningkatkan keboleh gunaan data, menyokong analisis rentas sektor dan yang paling pentingnya untuk mengelakkan data berada dalam keadaan silos. Yang penting juga adalah untuk kita menyediakan statistik yang lebih menyeluruh untuk pembangunan negara.
Makluman Yang Berhormat, data-data yang dikeluarkan oleh Jabatan Statistik adalah berdasarkan survey dan banci yang dilaksanakan berdasarkan piawaian yang telah ditetapkan. Dalam ekonomi era digital, saya bersetuju dengan Yang Berhormat Senator Hussin yang membangkitkan satu frasa yang amat penting iaitu dengan izin, data is a new oil kerana bagi kita data merupakan aset suatu negara yang menjadi asas kepada evidence based decision making yang telah saya sebutkan tadi.
Kerajaan bersetuju pandangan Yang Berhormat bahawa cabaran utama pada masa ini bukan lagi kekurangan data tetapi mempertahankan kewibawaan statistik rasmi negara. Justeru itu, RUU statistik 2026 telah digubal bagi memperkukuhkan peranan Jabatan Statistik Malaysia sebagai peneraju statistik rasmi negara melalui penetapan standard definisi dan metodologi repositori yang seragam.
Kerana kita lihat bila kita bercakap tentang repositori data ialah di mana peranannya ialah menyimpan dan menguruskan data, tetapi yang lagi penting adalah untuk statistik ini iaitu kita menganalisis dan mentafsir data tersebut. Itu sebabnya kita nak memastikan bahawa kewibawaan statistik rasmi negara ini, kerana ini jugalah kita gubal Rang Undang-undang Statistik 2026.
Di samping itu, ada juga Ahli Yang Berhormat membangkitkan tentang Majlis Statistik Negara kerana bagi kita, kita wujudkan Majlis Statistik Negara adalah untuk menyelaras pengeluaran statistik rasmi antara kementerian dan agensi dan kerajaan akan terus— Ahli Yang Berhormat, untuk memperkukuhkan libat urus dengan semua pihak termasuk di peringkat Persekutuan, peringkat negeri dan daerah supaya statistik rasmi menjadi rujukan utama dalam perbahasan, pengubahan dasar di peringkat negara dan negeri. Penyampaian maklumat kepada rakyat, ini dapat memastikan setiap keputusan yang dibuat berdasarkan data yang sahih, tepat dan boleh dipercayai.
Bagi memastikan data dan statistik yang dihasilkan adalah tepat dan berkualiti, setiap data yang dikumpulkan melalui kerja lapangan akan melalui proses semakan, validasi dan konsistensi. Statistik rasmi tidak boleh dipalsukan atau di manipulasi kerana perbuatan sedemikian merupakan suatu kesalahan yang tertakluk kepada tindakan dan penalti di bawah undang-undang.
Selain itu, tatakelola pengumpulan data dan penyediaan statistik sentiasa berpandukan manual antarabangsa serta amalan terbaik negara-negara maju. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat juga, Jabatan Statistik sentiasa memastikan statistik rasmi yang diterbitkan adalah tepat, berkualiti, boleh dipercayai, melalui proses semakan dan pengesahan yang ketat.
Bagi statistik yang bersifat terperinci granular, data lazimnya diperoleh daripada data pentadbiran yang dibekalkan oleh kementerian dan agensi berkaitan sebelum disemak, diselaras dan disahkan mengikut definisi serta piawaian statistik yang seragam. Selain itu, maklum balas daripada pengguna termasuk Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri, Senator, amatlah dihargai sebagai mekanisme semak dan imbang untuk mengenal pasti sebarang perbezaan atau ketidaktepatan sekiranya terdapat isu seperti liputan data tidak menyeluruh. Contohnya, hanya melibatkan tadika kerajaan dan tidak merangkumi tadika swasta.
Jabatan Statistik akan mendapat pengesahan daripada agensi berkaitan serta membuat penambahbaikan bagi memastikan statistik rasmi yang diterbitkan lengkap, konsisten dan relevan.
Dato’ Setia Yang di-Pertua, isu yang kedua adalah arahan mengemukakan data yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Senator Dr. Hajah Wan Martina, Yang Berhormat Senator Puan Tiew Way Keng, Yang Berhormat Senator Tuan Pele Peter Tinggom, Yang Berhormat Senator Tuan Haji Musoddak, Yang Berhormat Senator Tuan Mohd Hasbie dan Yang Berhormat Senator Datuk Wong You Fong. Mereka bangkitkan tentang bagaimana arahan membekalkan data diperlukan oleh Jabatan Statistik bagi tujuan penyediaan statistik rasmi.
Untuk makluman Ahli-ahli Yang Berhormat, arahan yang dibuat melalui notis secara bertulis disampaikan sama ada secara peribadi, pos berdaftar ataupun melalui cara elektronik. Penerima notis wajib memastikan data yang dikemukakan adalah benar, tepat, lengkap berserta suatu pengisytiharan bertulis seperti mana di bawah subfasal 12(2). Jika data tersebut tidak ada dalam pengetahuan atau simpanan individu atau syarikat atau data itu tidak lengkap, mereka wajib memaklumkan perkara tersebut kepada Ketua Perangkawan mengikut format dan tempoh yang telah dinyatakan di dalam notis tersebut.
Sesiapa yang melanggar arahan untuk mengemukakan data, sepertimana memberi maklumat tidak benar atau tidak lengkap, didapati melakukan kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM50,000. Jika kesalahan itu berterusan setelah selepas sabitan, denda tambahan sehingga RM2,000 sehari boleh dikenakan bagi kesalahan tersebut berterusan berdasarkan subfasal 12(5).
Jika kesalahan yang dilakukan oleh syarikat firma ataupun pertubuhan, mana- mana individu yang bertindak sebagai pengarah, pegawai pematuhan, pekongsi, pengurus, setiausaha atau pegawai lain seumpamanya, boleh dituduh secara berasingan bersama-sama dengan syarikat tersebut.
Jika syarikat didapati bersalah, pegawai-pegawai ini juga disifatkan bersalah dan dikenakan penalti yang sama melainkan mereka membuktikan kesalahan berlaku tanpa pengetahuan mereka dan mereka telah mengambil segala usaha yang sewajarnya untuk menghalangnya. Isu yang ketiga, yang dibangkitkan adalah berkaitan perkongsian data dan keselamatan data. Saya kira ramai Ahli-ahli Yang Berhormat, kalau saya nak baca satu persatu ini kerana majoritinya banyak membangkitkan tentang perkongsian data dan bagaimana keselamatan data.
Timbalan Menteri Ekonomi - Dato’ Indera Mohd Shahar bin Abdullah
Bagaimana mekanismenya, piawaiannya, SOP nya dikuat kuasa dalam usaha melindungi keselamatan data. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, keselamatan dan kerahsiaan data merupakan keutamaan dalam pengurusan statistik rasmi. Jabatan Statistik Malaysia hanya memperoleh data yang diperlukan bagi tujuan penghasilan statistik rasmi selaras dengan fungsi yang diperuntukkan di bawah RUU Statistik 2026.
Akses kepada data tersebut adalah tertakluk kepada:
(i) peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa;
(ii) prinsip keperluan data dengan izin, need to know basis;
(iii) kawalan keselamatan maklumat; dan
(iv) perlindungan kerahsiaan yang ketat di bawah fasal 12 dan fasal 15.
Data yang diterima oleh Jabatan Statistik Malaysia untuk makluman Yang Berhormat, disimpan dalam respiratori yang selamat dengan kawalan akses yang ketat.
Hanya pegawai yang diberikan kuasa boleh mengakses data mengikut keperluan tugas.
Data juga dilindungi melalui pelbagai langkah keselamatan termasuk penggunaan kod bagi mengurangkan risiko pendedahan maklumat. Di samping itu, garis panduan pemprosesan data akan diwujudkan bagi memastikan pengumpulan, penyimpanan, perkongsian dan penggunaan data dilaksanakan mengikut standard keselamatan serta kerahsiaan yang ditetapkan.
Dato’ Setia Yang di-Pertua, rang undang-undang ini memberikan jaminan perlindungan yang sangat ketat:
(i) Sekatan penerbitan. Data yang diterbitkan atau dikomunikasikan tidak boleh mendedahkan identiti mana-mana individu atau entiti secara langsung di bawah subfasal 14(1)(C).
(ii) Kerahsiaan pegawai. Pegawai Jabatan Statistik dilarang sama sekali menzahirkan data yang diperolehi semasa atau selepas mereka berkhidmat. Pelanggaran boleh membawa hukuman denda sehingga RM10 ribu, penjara selama dua tahun atau kedua-duanya di bawah fasal 15.
(iii) Larangan cukai. Data yang dikumpul di bawah rang undang- undang ini tidak boleh digunakan untuk tujuan menentukan liabiliti cukai atau levi sepertimana di bawah subfasal 14(2).
Rang Undang-undang Statistik 2026 tidak bertujuan mewujudkan satu pusat repositori yang membuka ruang kepada penyalahgunaan data, perkongsian data yang dilaksanakan bagi tujuan penyediaan statistik rasmi yang lebih berkualiti dan tertakluk kepada peruntukan undang-undang serta prinsip tadbir urus data yang berkuat kuasa.
Ahli-ahli Yang Berhormat, selaras dengan prinsip yang pertama United Nation Fundamental Principal Of Official Statistic, statistik rasmi hendaklah disediakan disebarkan secara profesional, tidak berpihak, impartiality serta diberikan kepada semua pengguna secara saksama, equal access. Bagi memenuhi prinsip ini DOSM telah mengamalkan penerbitan kalendar keluaran awalan— Advance Release Calendar
(ARC), secara konsisten sejak tahun 1990an lagi bagi memaklumkan lebih awal tarikh semua penerbitan statistik.
Amalan ini memastikan semua pengguna menerima maklumat dan akses kepada statistik rasmi secara serentak, sekali gus memperkukuhkan ketelusan integriti dan kebolehpercayaan statistik. DOSM juga memenuhi Special Data Dissemination Standard (SDDS), oleh IMF bagi penyebaran statistik makro ekonomi terpilih. Tempoh pengumpulan, pemprosesan dan penerbitan statistik bagaimanapun berbeza Ahli Yang Berhormat mengikut jenis sumber data, mitologi skop dan kompleksiti setiap statistik.
Ahli Yang Berhormat, selain itu hak milik data kekal di bawah agensi pembekal.
Aspek pelaksanaan seperti kaedah perkongsian data, kawalan akses, perlindungan keselamatan maklumat, pengurusan risiko siber akan diperincikan melalui garis panduan perkongsian data dan mematuhi dasar keselamatan kerajaan serta peraturan yang berkuat kuasa. Pendekatan ini bertujuan memastikan data yang digunakan secara selamat, bertanggungjawab dan hanya bagi tujuan statistik rasmi.
Pada masa ini Ahli Yang Berhormat, kerajaan masih meneruskan dasar data terbuka bagi tujuan untuk meningkatkan ketelusan, akauntabiliti, inovasi dan penggunaan data sektor awam oleh rakyat, penyelidik dan industri. Selari dengan aspirasi ini kesemua statistik yang diterbitkan oleh DOSM turut dikongsi melalui pelbagai platform komunikasi statistik seperti Portal DOSM dan OpenDOSM. Mode penyebaran data DOSM akan sentiasa ditambah baik dari semasa ke semasa bagi memastikan statistik rasmi dapat dimanfaatkan oleh pelbagai pihak. Perkongsian data adalah tertakluk kepada peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa termasuk Akta Perkongsian Data 2025, Akta 864 serta hanya tujuan penyediaan statistik rasmi.
RUU Statistik 2026 dan Akta Perkongsian Data 2025 saling melengkapi. RUU Statistik 2026 memperuntukkan Jabatan Statistik untuk memperolehi data bagi tujuan statistik rasmi. Manakala Akta Perkongsian Data 2025 menyediakan mekanisme perundangan dan prosedur berkaitan proses permohonan perkongsian dan tadbir urus data antara agensi sektor awam.
Ini bermakna Ahli-ahli Yang Berhormat, permohonan data oleh Jabatan Statistik daripada entiti kerajaan hendaklah dilaksanakan mengikut tatacara yang diperuntukkan di bawah Akta Perkongsian Data 2025. Data yang diterima oleh DOSM dilindungi di bawah peruntukkan kerahsiaan yang ketat dan hanya statistik yang telah di-agregat-kan yang akan diterbitkan dan dikongsi kan serta tidak mendedahkan identiti individu atau pertubuhan perniagaan.
Ahli Yang Berhormat juga membangkitkan berkaitan PMKS. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, perusahaan mikro kecil dan sederhana PMKS tidak perlu mengubahsuai sistem mereka semata-mata memenuhi pelaksanaan perkongsian data di bawah Akta Statistik 2026.
Hal ini kerana mekanisme perkongsian data yang diperuntukkan di bawah akta tersebut hanya melibatkan kementerian, jabatan, agensi Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri serta badan-badan berkaitan yang memiliki data pentadbiran.
Perkongsian ini dilaksanakan antara agensi dengan Jabatan Perangkaan Malaysia
(DOSM), bagi mengurangkan pertindihan pengumpulan data, meningkatkan kecekapan penyediaan secara tidak rasmi dan mengurangkan beban pematuhan kepada responden.
Bagi PMKS pula, mereka kekal sebagai responden statistik yang memberi maklumat melalui pengumpulan data primer sama ada melalui banci atau survey yang dijalankan secara bersemuka, melalui telefon atau pun secara dalam talian. Maklumat yang diberikan lazimnya adalah berdasarkan rekod sedia ada seperti sistem perakaunan, penyata kewangan tahunan dan rekod perniagaan tanpa memerlukan sebarang integrasi sistem atau pembangunan aplikasi baharu.
Malah, perkongsian data pentadbiran antara agensi kerajaan dijangka mengurangkan keperluan PMKS untuk mengemukakan maklumat yang sama berulang- ulang kali sekali gus mengurangkan kos pematuhan dan beban pelaporan kepada perniagaan khususnya PMKS.
Dengan pendekatan ini Ahli Yang Berhormat, kerajaan dapat meningkatkan kecekapan penyampaian statistik rasmi tanpa membebankan sektor perniagaan dengan keperluan perubahan sistem atau kos tambahan.
Timbalan Menteri Ekonomi - Dato’ Indera Mohd Shahar bin Abdullah
Ahli Yang Berhormat, Jabatan Statistik terikat dengan peruntukan kerahsiaan yang ketat sepertimana yang saya sebutkan di awal tadi. Data yang diterima hanya boleh digunakan:
(i) pengumpulan statistik;
(ii) analisis statistik;
(iii) tafsiran statistik;
(iv) menghasilkan statistik yang lebih tepat dan komprehensif; dan
(v) meningkat ketersediaan data pada peringkat granular dan mempercepatkan penyampaian perkhidmatan kerajaan kepada rakyat sepertimana yang diperuntukkan di bawah peruntukan fasal 5.
Ahli-ahli Yang Berhormat, mana-mana orang boleh memohon untuk mendapatkan data atau statistik, termasuk penerbitan fizikal atau digital yang dikeluarkan oleh Jabatan Statistik Malaysia, tertakluk kepada syarat dan tatacara yang ditentukan oleh Ketua Perangkawan serta pembayaran fi yang ditetapkan jika berkenaan sepertimana yang diperuntukkan di bawah sub fasal 14(3).
Ahli Yang Berhormat, permohonan bagi statistik atau penerbitan Jabatan Statistik adalah percuma bagi penerbitan kepada umum. Manakala bagi data yang tidak diterbitkan kepada umum adalah tertakluk kepada fi yang ditetapkan oleh Ketua Perangkawan, bergantung kepada jenis data atau penerbitan yang dipohon sepertimana yang diperuntukkan di bawah sub fasal 14(3).
Ahli Yang Berhormat, Rang Undang-undang Statistik 2026 terpakai kepada Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri, PBT, badan berkanun dalam konteks penyediaan statistik rasmi. Walau bagaimanapun, Ahli Yang Berhormat, pelaksanaannya tidak mengatasi peruntukan mana-mana undang-undang, khususnya yang berkuat kuasa ke atas kementerian atau agensi lain. Pada masa ini, banyak kerajaan negeri dan agensi telah membekalkan data pentadbiran kepada Jabatan Statistik Malaysia termasuk data berkaitan bantuan dan zakat.
Bagi tujuan penyusunan statistik rasmi, pendekatan yang diambil adalah berasaskan kerjasama, penyelarasan dan kefahaman mengenai tanggungjawab membekalkan data. Manakala penalti hanya merupakan langkah yang terakhir sekira berlaku ketidakpatuhan yang diperuntukkan di bawah undang-undang.
Selain itu, rang undang-undang ini secara tegas melarang mana-mana orang atau pihak berkuasa menggunakan data atau statistik yang diperolehi di bawah rang undang-undang ini bagi maksud menentukan apa-apa bentuk cukai, tanggungjawab cukai atau levi sama ada di peringkat Persekutuan mahupun peringkat negeri sepertimana diperuntukkan di bawah sub fasal 14(2).
Dato’ Setia Yang di-Pertua, berkaitan kriteria pelantikan Ketua Perangkawan.
Yang Berhormat Dr. Hajah Wan Martina, Yang Berhormat Senator Puan Tiew Way Keng, Yang Berhormat Senator Tuan Che Alias, Yang Berhormat Senator Dato’ Ng Keng Heng, Yang Berhormat Senator Datuk Rosni binti Sohar, Yang Berhormat Senator Dr.
Jufitri bin Joha dan Yang Berhormat Senator Dato’ Wu Him Ven telah bangkitkan berkaitan mengenai penetapan kriteria bagi pelantikan Ketua Perangkawan Malaysia.
Dato’ Setia Yang di-Pertua, Ketua Perangkawan yang baharu yang menggantikan Yang Berbahagia Datuk Seri Uzir adalah wanita...
[Tepuk] Puan Siti Asiah. Ada di belakang. Angkat tangan sikit.
Ahli Yang Berhormat...
[Dicelah] Women empowerment, Datuk Rosni.
Datuk Rosni binti Sohar
Boleh bagi saya mencelah?
Dato’ Indera Mohd Shahar bin Abdullah
Boleh. Sila.
Dato’ Setia Salehuddin bin Saidin
Ya.
Datuk Rosni binti Sohar
Terima kasih Dato’ Timbalan Menteri kerana melantik Ketua Perangkawan adalah seorang wanita. Ini yang akan kami tunggu-tunggu dan kita suarakan dalam Dewan ini. Saya menyatakan terima kasih dan harap diteruskan lagi di tempat-tempat lain. Terima kasih.
Dato’ Setia Salehuddin bin Saidin
Di tempat-tempat lain juga itu.
Dato’ Indera Mohd Shahar bin Abdullah
[Ketawa] Ya. Yang Berhormat Senator Datuk Rosni memang pejuang wanita dari dulu sampai kini.
Untuk Ahli Yang Berhormat, apabila kita bercakap tentang Ketua Perangkawan, dia dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong daripada kalangan pegawai perkhidmatan awam Persekutuan yang memenuhi kriteria yang ketat. Berikut― yang pertama, dia mesti mempunyai ijazah sarjana, yakni master, atau kedoktoran (PhD) dalam bidang statistik, ekonomi, sains data, matematik atau bidang berkaitan. Mempunyai sekurang- kurangnya 20 tahun pengalaman berkhidmat dalam bidang statistik.
Yang ketiganya, mempunyai kemahiran teknikal dan penghasilan statistik sosial atau ekonomi.
Dan yang keempat, mempunyai pengalaman luas dalam mengendalikan banci atau tinjauan kependudukan, isi rumah atau ekonomi di peringkat kebangsaan atau negeri sebagaimana diperuntukkan sub fasal 4(2).
Ketua Perangkawan berperanan memastikan pengeluaran statistik rasmi yang berintegriti dan bebas dalam pelbagai bidang. Keperluan pengalaman sekurang- kurangnya 20 tahun bagi pelantikan Ketua Perangkawan ditetapkan bagi memastikan calon mempunyai pengalaman, kepimpinan dan pertimbangan profesional yang cukup untuk memelihara integriti statistik rasmi, kerahsiaan data serta menerajui sistem statistik negara.
Syarat ini, Ahli Yang Berhormat, bukanlah bertujuan untuk mengehadkan peluang, sebaliknya memastikan jawatan tersebut disandang oleh individu yang mempunyai kematangan dan kepakaran yang sepadan dengan tanggungjawabnya.
Kerana apa, disebut tadi, untuk mengehadkan orang yang― bukan, Yang Berhormat.
Kita pilih Ketua Perangkawan yang baharu ini setelah tapisan yang begitu panjang dibuat dan Yang Berbahagia Datuk Seri Dr. Uzir meninggalkan barisan pelapis yang cukup baik di Jabatan Statistik Malaysia. Itu kita tak kompromi, dari segi kredibiliti, kerana kita ini gender blind, kerana yang paling penting bagi kita, mereka yang layak akan dapat tempat dalam sektor-sektor yang amat kritikal sepertimana Jabatan Statistik Negara
(DOSM) ini.
Ahli Yang Berhormat, Ahli Yang Berhormat juga bangkitkan tentang Majlis Statistik Negara. Saya meneliti ke-17 ini― agak menarik perbincangan dan perdebatan yang dibangkitkan sekali lagi oleh Yang Berhormat Senator Dr. Hajah Wan Martina, Yang Berhormat Senator Puan Tiew Way Keng, Yang Berhormat Senator Puan Hajah Norhasmimi, Yang Berhormat Senator Tuan Pele, Yang Berhormat Senator Tuan Abun, Yang Berhormat Senator Dato’ Ng, Yang Berhormat Senator Datuk Rosni, Yang Berhormat Senator Datuk Wong, Yang Berhormat Senator Dr. Jufitri, Yang Berhormat Senator Dato’ Wu dan Yang Berhormat Senator Puan Rita Sarimah.
[Tuan Yang di-Pertua **mempengerusikan Mesyuarat****] Saya ucap terima kasihlah Yang Berhormat Senator Puan Rita kerana bersama- sama dalam Jawatankuasa Semakan Undang-undang. Kami rasa bimbang ketika nak bertemu dengan Jawatankuasa Pilihan Khas Semakan Undang-undang kerana mereka semua lawyer. Mereka melihat satu persatu. Agak cemas juga tim Kementerian Ekonomi dan DOSM, tapi alhamdulillah, kerana mereka mempunyai kepakaran. Saya ucapkan terima kasihlah atas jasa dan sumbangan bagi memberi input kepada rang undang- undang ini.
Dato Yang di-Pertua, Ahli Yang Berhormat membangkitkan isu mengenai struktur dan komposisi Majlis Statistik Negara yang ditubuhkan bagi memperkukuhkan tadbir urus perkongsian data. Kerajaan merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada segala pandangan serta cadangan yang dikemukakan termasuk mekanisme audit pelaporan kepada Majlis Statistik Negara dan aspek-aspek pelaksanaan yang lain. Kesemua cadangan tersebut akan diperhalusi sewajarnya dalam merangka mekanisme dan tatacara pelaksanaan yang bersesuaian bagi memastikan akta ini dapat dilaksanakan secara berkesan, telus dan teratur.
Untuk makluman Ahli-ahli Yang Berhormat, Majlis Statistik Negara bertindak sebagai badan penasihat utama negara dalam memberikan panduan dan arahan strategik mengenai statistik. Keanggotaannya, sepertimana yang telah saya bacakan semasa saya bentangkan bacaan kali kedua, di bawah peruntukan fasal 7. Cuma, dibangkitkan adalah kenapa tidak ada badan-badan profesional.
Ahli Yang Berhormat, Majlis ini, sepertimana yang diperuntukkan, boleh menjemput mana-mana orang untuk menghadiri mesyuarat, memberi nasihat mengenai perkara-perkara yang sedang dibincangkan. Namun, orang yang dijemput tersebut tidak mempunyai hak untuk mengundi sepertimana yang diperuntukkan dalam fasal 8.
Fasal 9, sepertimana yang saya sebut di awal tadi, majlis ini bertindak sebagai badan penasihat utama untuk memberi panduan dan arahan berkenaan perkara berkaitan statistik dan menilai dan mengesahkan standard dan tatacara statistik di Malaysia. Sudah pasti Majlis Statistik berperanan memberi nasihat strategik, menentukan hala tuju serta memperakukan dasar statistik standard dan inisiatif berkaitan statistik dan data negara. Fungsi tersebut tidak menjejaskan atau mengambil alih kuasa Jabatan Statistik Malaysia dalam konteks pengumpulan, penyusunan, analisis, penyebaran dan penyelarasan statistik rasmi negara.
Penyelarasan statistik dan tadbir urus boleh diperluaskan kepada peringkat yang lebih granular kerana penubuhan Majlis Statistik di peringkat negeri dan daerah.
Mekanisme ini membolehkan penyelarasan keperluan data, perkongsian maklumat, pemakaian piawaian statistik, pengenalpastian jurang dilaksanakan lebih tersusun mengikut keperluan setempat.
Pada masa yang sama, ia menyokong penghasilan statistik yang lebih granular, konsisten dan relevan bagi tujuan perancangan, pelaksanaan dan pemantauan.
Ahli Yang Berhormat, saya nak rumuskan. Walaupun kita memanggil mereka yang pakar itu bukan sebagai ahli tetap― kerana kita bukan sepanjang masa berbincang tentang satu perkara. Itu sebabnya kita ada dasar yang dibuat di peringkat kementerian dan di peringkat kerajaan dan kita memanggil ahli-ahli profesional, academician mengikut keperluan semasa perbincangan tersebut. Sekiranya mereka― kerana, mereka yang pakar ini adalah mereka yang spesifik kepada isu-isu tertentu. So, tidak adil untuk kita melibatkan mereka secara mutlak.
Dato’ Indera Mohd Shahar bin Abdullah
Itu sebabnya kita ada dasar yang dibuat di peringkat kementerian dan di peringkat kerajaan dan kita memanggil ahli-ahli profesional, academicians mengikut keperluan semasa perbincangan tersebut. Sekiranya mereka— kerana mereka yang pakar ini adalah mereka yang spesifik kepada isu-isu tertentu. So, tidak adil untuk kita melibatkan mereka secara mutlak.
Itu sebabnya kita seperti mana yang diperuntukkan di bawah fasal 8, kita boleh menjemput mana-mana mereka yang mempunyai kepakaran, yang akan ditentukan oleh Ketua Perangkawan, untuk panggil, untuk mendapat kepakaran mereka.
Dan kemudiannya, sekiranya mesyuarat berikutnya ada berkaitan perkara- perkara yang mungkin bukan kepakaran mereka, kita tidak akan jemput dan kita jemput mereka yang lain, yang mempunyai kepakaran tersebut. Kerana bagi kita, Majlis Statistik Negara, Ahli-ahli Yang Berhormat, bukan hanya berada di peringkat kebangsaan, ia juga berada di peringkat negeri dan juga di peringkat daerah.
Apabila di peringkat daerah, ada disebutkan tadi, statistik hanya menyentuh perkara-perkara makro, bukan. Kita juga melihat sampai ke peringkat daerah dan juga melihat peringkat negeri. Di peringkat negeri dipengerusikan oleh Menteri Besar ataupun Ketua Menteri dan di peringkat daerah dipengerusikan pada siapa yang diarahkan untuk mempengerusikan di peringkat daerah.
Saya kira isu itu selesai kerana bagi kita, kita mengambil kira pandangan Yang Berhormat. Bukan hanya melihat dari segi makro, tetapi kita nak juga melihat dari segi mikro kerana kita nak terjemahkan statistik berdasarkan data yang ada. Bukan hanya dilihat dari segi agregat tetapi juga dilihat dari segi individu dan di segi firm level. Ahli Yang Berhormat, saya nak menyentuh manfaat statistik kepada kerajaan dan rakyat yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Senator Tuan Mohd Hasbie bin Muda. Apakah manfaat Rang Undang-undang Statistik kepada kerajaan dan rakyat?
Antara manfaat akta ini kepada Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri, pertamanya adalah pematuhan seragam di semua peringkat kerajaan. Saya gembira wakil-wakil negeri tadi ada membahaskan tentang keperluan penggubalan dasar di peringkat negeri. Itu yang kita harapkan di peringkat Kerajaan Persekutuan supaya data sivil ini berlaku di peringkat kerajaan negeri dan juga kerajaan tempatan.
Yang keduanya, kita nak memperkukuhkan tadbir urus dan akauntabiliti pelaksanaan dasar di peringkat program dan mengelak ketidakselarasan data dalam pengurusan dan pelaksanaan fungsi yang berkaitan dengan data.
Dan yang keduanya, kita nak memastikan penyampaian perkhidmatan awam yang lebih cekap dan berkesan seperti mana yang terkandung dan diperuntukkan di bawah fasal 2.
Secara keseluruhannya Yang Berhormat, statistik yang berkualiti menyokong kesejahteraan rakyat melalui pembuat keputusan berdasarkan bukti. Dan kita yakin Rang Undang-undang Statistik 2026 Dato Yang di-Pertua, akan membantu kerajaan menyediakan dasar yang lebih tepat, bersasar, agihan bantuan yang lebih efektif.
Kerana yang disampai data granular di peringkat daerah, perancang pembangunan yang inklusif, statistik yang lebih terkini dan berkualiti serta perkhidmatan awam yang lebih responsif terhadap keperluan rakyat.
Ahli-ahli Yang Berhormat juga ada menyentuh berkaitan penalti kegagalan pembekalan data oleh individu atau syarikat dibangkitkan oleh Yang Berhormat Dr.
Hajah Wan Martina, Senator Tuan Haji Musoddak, Senator Tuan Che Alias dan Senator Dato’ Ng Keng Heng berkaitan penalti bagi individu atau syarikat yang gagal mematuhi arahan Jabatan Statistik untuk membekalkan data.
Untuk makluman Yang Berhormat, sesiapa yang melanggar arahan untuk mengemukakan data seperti memberi maklumat tidak benar atau tidak lengkap, didapati melakukan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000. Jika kesalahan berterusan seperti mana saya sebut diawal tadi, dia kena denda tambahan sehingga RM2,000 sehari, boleh dikenakan pada setiap hari kesalahan itu berterusan.
Jika data tersebut tidak ada dalam pengetahuan atau simpanan individu atau tidak lengkap, mereka wajib memaklumkan kepada Ketua Perangkawan mengikut format dan tempoh yang dinyatakan dalam notis seperti mana yang diperuntukkan di bawah fasal 12(4).
Yang Berhormat Senator Wan Martina, Tuan Haji Musoddak, Senator Tuan Che Alias juga dan Dato’ Ng juga membangkitkan semakan kadar penalti. Ada yang mengatakan bahawa rang undang-undang ini, kita perkukuhkan melalui semakan kadar penalti yang dikenakan berkaitan statistik. Kita membandingkan dua, Akta 415, akta yang terdahulu dan akta yang kita sedang gubal. Kita ambil contoh, kesalahan pelanggaran kerahsiaan.
Kalau dahulu, kita kenakan penjara satu tempoh yang tidak melebihi dua tahun atau denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-duanya, tetapi dalam Rang Undang- undang Statistik 2026, kita denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau keduanya, seperti mana sub fasal 15(2).
Sekiranya mereka gagal membekalkan maklumat yang dikehendaki, kalau akta dahulu tidak melebihi RM500 dalam kes-kes tertentu, satu denda lanjut tidak melebihi RM500 tiap-tiap hari selama kesalahan itu berterusan. Dan seperti mana yang saya sebutkan tadi, untuk rang undang-undang sekarang ini, kita denda tidak melebihi RM50,000 dalam hal-hal kesalahan yang berterusan dan kemudiannya RM2,000 bagi hari-hari yang berikutnya sekiranya mereka disabitkan.
Dahulu, penyalahgunaan statistik Dato’ Yang di-Pertua, tidak ada tindakan dikenakan di bawah Akta 415 tetapi di bawah Rang Undang-undang Statistik 2026, denda tidak melebihi RM50,000 seperti mana sub fasal 14(4). Dan apabila pelanggaran peraturan yang ditetapkan di bawah akta ini, dahulu Akta 415 tidak ada, tetapi dalam akta ini kita perkukuhkan denda tidak melebihi RM10,000 dan pemenjaraan selama tempoh tidak melebihi 12 bulan atau kedua-duanya atau denda tidak melebihi RM20,000 bagi pertubuhan dan perbadanan.
Ahli-ahli Yang Berhormat, saya kira saya dah menjawab keseluruhan perkara- perkara ini. Dan saya nak mengingatkan kepada Ahli-ahli Yang Berhormat, penggubalan Rang Undang-undang Statistik 2026 ini merupakan langkah yang penting untuk memperkukuhkan sistem statistik negara agar lebih berdaya tahan dan responsif.
Rang undang-undang ini turut memperkasakan peranan Jabatan Perangkaan serta memperkukuhkan tadbir urus data melalui kerjasama strategik antara kementerian, agensi dan pihak berkepentingan. Kerajaan yakin bahawa pelaksanaan Rang Undang- undang Statistik 2026 akan meningkatkan keyakinan rakyat, pembuat dasar dan penggunaan statistik terhadap kualiti integriti dan kebolehpercayaan statistik rasmi negara. Kerajaan komited memperkukuhkan ekosistem statistik negara melalui sokongan dan kerjasama semua pihak bagi menyokong pembangunan dan kesejahteraan rakyat.
Dato Yang di-Pertua, isu yang terakhir adalah berkaitan PADU, ada dibangkitkan. Saya nak beritahu pada Yang Berhormat, setakat hari ini, PADU mempunyai pusat repositori data yang mengandungi 30.7 juta profil sosioekonomi individu dan pemastautin tetap di Malaysia bagi tujuan analitik dan platform perkhidmatan data kepada agensi kerajaan. Walaupun ada dibangkitkan tentang kos RM80 juta tadi Yang Berhormat, saya bagi jaminan bahawa sebanyak 204 agensi telah melaksana perkongsian dan pengintegrasian data secara berterusan dengan PADU, melibatkan 670 set data. Kerana kita integrasikan maklumat parameter, demografi, alamat, pekerjaan, pendapatan, pendidikan, perlindungan sosial, pemilikan aset, kemiskinan dan utiliti.
Untuk makluman Yang Berhormat, sehingga kini, 27 used case telah menggunakan data PADU bagi tujuan untuk meningkatkan kecekapan keberkesanan dasar. Dan ini merangkumi semakan dan verifikasi maklumat serta pelaksana subsidi bantuan secara lebih bersasar. Kita gunakan empat perkhidmatan, profile as a service, analytic as a service, data as a service dan *unified platform.
So* Yang Berhormat, Rang Undang-undang Statistik dengan PADU ini kita saling melengkapi dan kita pastikan setiap ringgit yang kita belanjakan itu betul-betul dapat dimanfaatkan untuk kita memperkukuhkan sistem statistik negara. Dan yang paling pentingnya, Kerajaan Persekutuan dan pihak-pihak kerajaan mengetahui apa yang sedang berlaku di lapangan bagi memastikan ekonomi kita dapat kita pacu ke satu tahap yang lebih tinggi.
Dato Yang di-Pertua, saya kira itu sahaja penjelasan saya bagi pihak Kementerian Ekonomi dan Jabatan Statistik Malaysia berhubung perkara-perkara yang telah dibangkitkan oleh semua Ahli-ahli Yang Berhormat semasa perbahasan. Saya juga mengambil kesempatan untuk mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada Yang Berhormat Datuk Seri Dr. Uzir, bekas Ketua Perangkawan kerana bertungkus- lumus untuk memastikan Rang Undang-undang Statistik ini dapat dibentangkan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara.
Dan saya juga mengucapkan selamat maju jaya kepada Ketua Perangkawan yang baharu untuk memastikan pelaksanaan Rang Undang-undang Statistik ini dapat dilaksanakan seperti mana kehendak Ahli-ahli Yang Berhormat di Dewan Rakyat dan Dewan Negara.
Sekian sahaja Ahli Yang Berhormat, saya merakamkan ucapan terima kasih kepada Ahli Yang Berhormat yang telah mengambil bahagian dalam perbahasan Rang Undang-undang Statistik 2026 pada hari ini. Sekian, terima kasih. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Tuan Yang di-Pertua
Ahli-ahli Yang Berhormat, sekarang dikemukakan masalah kepada Majlis bagi diputuskan.
Tuan Yang di-Pertua
Secara statistik tidak ada bunyi kan?
[Dewan ketawa]
Tuan Yang di-Pertua
[Masalah dikemukakan bagi diputuskan; dan disetujukan] [Rang undang-undang dibacakan kali yang kedua dan diserahkan kepada Dewan sebagai Jawatankuasa] [****Majlis bersidang dalam Jawatankuasa****] [Tuan Yang di-Pertua mempengerusikan Jawatankuasa****] [Fasal-fasal dikemukakan kepada Jawatankuasa] [****Fasal-fasal 1 hingga 22 diperintahkan jadi sebahagian daripada rang undang- undang] [Rang undang-undang dimaklumkan kepada Majlis sekarang] [****Majlis Mesyuarat bersidang semula****] [Tuan Yang di-Pertua ***mempengerusikan Mesyuarat****] [Rang undang-undang dilaporkan dengan tidak ada pindaan; dibacakan kali yang ketiga, disokong oleh Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup
(Datuk Dr. Fuziah binti Salleh) dan diluluskan]*
Tuan Yang di-Pertua
Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera, salam Malaysia MADANI.
Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua Dewan Negara, Yang Berhormat Menteri-Menteri dan Timbalan Menteri, Ahli-ahli Yang Berhormat Senator sekalian.
Syukur alhamdulillah kita telah menyempurnakan persidangan Dewan Negara bagi Mesyuarat Kedua, Penggal Kelima, Parlimen Kelima Belas yang berlangsung selama 10 hari.
Pada permulaan sesi, kita juga menyempurnakan pemilihan Timbalan Yang di- Pertua Dewan Negara iaitu Yang Berhormat Senator Datuk Nur Jazlan bin Tan Sri Mohamed yang telah dipilih bagi buat Penggal Kedua. Sekali lagi kita ucapkan setinggi- tinggi tahniah [Tepuk] Sebanyak 12 rang undang-undang telah dipertimbangkan dan diluluskan oleh Dewan Negara.
Dirakamkan penghargaan kepada semua Ahli Yang Berhormat yang telah mengambil bahagian dalam setuju dan meluluskan rang undang-undang ini dengan penuh tertib, rasa hormat dan bersemangat.
Ahli Yang Berhormat, Jawatankuasa Pemilih bagi Penggal Kelima ini telah bersidang dan menetapkan keanggotaan bagi lima Jawatankuasa Pilihan Tetap yang baharu seperti mana yang telah diluluskan oleh Majlis ini pada sesi Mesyuarat Pertama yang lalu.
Ahli-ahli Yang Berhormat, diberi ruang dan peluang untuk berada dan berkhidmat di dalam jawatankuasa-jawatankuasa ini termasuklah Jawatankuasa Pilihan Khas yang sedia ada. Kita yakin Ahli-ahli Yang Berhormat akan menyumbang pandangan, masa dan tenaga untuk berperanan dalam melaksanakan kewajipan sebagai penyemak, pengimbang dan juga penggubal undang-undang yang menjadi Ahli Dewan Legislatif yang tertinggi di Malaysia, Upper House of the Malaysian Parliament. Ahli-ahli Yang Berhormat, dua usul di bawah Peraturan Mesyuarat 16 juga dibawa dan dibentang di Mesyuarat kali ini. Inilah kali pertama ia dibuat sejak tahun 2022. Usul dibawa oleh Yang Berhormat Senator Dato’ Setia Salehuddin bin Saidin yang membawa isu undi pos ataupun undi awal oleh polis bantuan dan jawapan telah diberi oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi).
Satu lagi usul dibawakan oleh Yang Berhormat Senator Datuk Phoong Jin Zhe yang menyentuh isu cabaran platform e-Dagang kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) telah dijawab oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup yang ada berada di dalam Dewan pada petang ini. Betulkah? Angguk kepala, statistically setujulah itu.
[Dewan ketawa]
Tuan Yang di-Pertua
Dua laporan Jawatankuasa Pilihan telah pun dibentang dalam Mesyuarat kali ini iaitu Penyata Jawatankuasa Pemilih dan Penyata Jawatankuasa Pilihan Khas Semakan Undang-undang. Dokumen ini akan terus— satu dokumen penting dan signifikan untuk maklumat yang akan membantu atau membantu Ahli-ahli Yang Berhormat dalam menjalankan khidmat atau tugas sebagai penggubal undang-undang di Dewan yang tertinggi di Malaysia ataupun Dewan yang mulia ini.
Pandangan yang dikemukakan daripada pelbagai latar belakang, kepakaran sudah tentu memperkayakan proses semak dan imbang dan penggubalan undang- undang yang menjadi tunjang kepada sistem demokrasi berparlimen negara kita.
Semoga semangat kebersamaan yang telah dilahirkan sepanjang persidangan ini akan terus menjadi kekuatan kepada institusi Parlimen dan kepada negara yang kita cintai bersama.
Kita adalah dalam suasana menyambut bulan kemerdekaan. Dalam semangat tersebut, marilah kita memperbaharui iltizam untuk mempertahankan kedaulatan dan keluhuran Perlembagaan Persekutuan, menjunjung kedaulatan undang-undang serta memelihara perpaduan yang menjadi asas kekuatan negara kita. Marilah kita menghayati inspirasi Malaysia MADANI, kesejahteraan dinikmati sebagai cerminan dalam membina negara maju, inklusif dan harmoni demi kesejahteraan rakyat.
Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, sebelum mengakhiri sesi persidangan ini, izinkan saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua Ahli-ahli Yang Berhormat yang akan menamatkan tempoh perkhidmatan sebagai Ahli Dewan Negara, khususnya kita tujukan bagi mereka yang telah dan akan menyempurnakan dua penggal. Dua penggal itu maksudnya statistically, how to pronounce it
[Dewan riuh]
Tuan Yang di-Pertua
Statistically, betul kah itu Menteri? Takut yang digubal dalam itu nanti salah pula.
Tuan Yang di-Pertua
Tak dapatlah dilanjutkan lagi sebab peruntukan Perlembagaan mengatakan bahawa hanya— hadnya dua penggal. Mereka adalah:
(i) Yang Berhormat Tuan Manolan bin Mohamad; [Tepuk]
(ii) Yang Berhormat Senator Puan Susan Chemerai Anding; [Tepuk]
(iii) Yang Berhormat Senator Dato' Sri Vell Paari; dan [Tepuk]
(iv) Yang Berhormat Senator Puan Rita Sarimah.
[Tepuk] Penghargaan juga dirakam kepada mereka yang telah dan akan menamatkan tempoh perkhidmatan bagi penggal pertama. Secara statistik, masih ada peluanglah untuk dilantik semula atau dipilih semula iaitu:
(i) Yang Berhormat Senator Tan Sri Dato’ Sri Panglima Anifah;
(ii) Yang Berhormat Senator Dato' Sivarrajh;
(iii) Yang Berhormat Senator Puan Noorita binti Sual;
(iv) Yang Berhormat Senator Tuan Roderick Wong Siew Lead;
(v) Yang Berhormat Senator Datuk Seri Dr. Mujahid bin Yusof;
(vi) Yang Berhormat Senator Tuan Nik Mohamad Abduh;
(vii) Yang Berhormat Senator Datuk Haji Mustafa bin Musa;
(viii) Yang Berhormat Senator Tuan Michael Mujah; dan
(ix) Yang Berhormat Senator Dato’ Haji Abdul Halim.
Kita doakan agar mereka semua terus dikurniakan kesihatan yang baik dan terus menyumbang kepada negara kita dalam apa jua lapangan. Juga dirakamkan penghargaan kepada Yang Berhormat Menteri-Menteri, Timbalan Menteri, pegawai- pegawai kementerian dan agensi yang telah memberikan kerjasama sepanjang persidangan ini.
Penghargaan juga ditujukan kepada Parlimen Malaysia khususnya kepada Setiausaha Dewan Negara, ada ke tidak dia di sini?
[Tepuk] Yang mengetuai Bahagian Pengurusan Dewan Negara langsung dan secara tidak langsung melancarkan urusan perjalanan persidangan kita dengan baik dan lancar. Kita juga rakamkan penghargaan kepada Ketua Pentadbir Parlimen Malaysia dan seluruh warga Parlimen Malaysia.
Ahli-ahli Yang Berhormat, akhir kata, marilah kita terus memelihara kemuliaan Dewan Negara sebagai dewan tertinggi legislatif Malaysia yang berteraskan masa kita melaksanakan dan berkhidmat, ilmu, hikmah, adab dan rasa tanggungjawab dan kewajipan.
Perbahasan akan berakhir, persidangan akan ditangguhkan namun amanah untuk menentukan keluhuran Perlembagaan, mempertahankan kedaulatan undang- undang dan berbakti kepada rakyat akan terus dipikul oleh kita semua. Ramai yang akan pulang ke kampung halaman, ada yang terbang, ada yang melalui jalan raya. Macam mana kita hendak statically lump it up to say, berhati-hatilah di jalan raya dan selamat sampai ke destinasi?
Persidangan dimulakan dengan merenung kata-kata Presiden Sukarno. Masih ingat apa kata-kata Presiden Sukarno itu? “Bagi saya 10 pemuda dan pemudi, apa akan saya buat? Saya akan dapat menggoncang dunia...” Bagi ke saya 10 orang tua, 1,000 orang tua ya? 10 sahaja cukup [Ketawa] Apa yang orang tua dapat buat— 10 yang dapat buat? Dia dapat mencabut akar Gunung Semeru. Gunung Semeru itu gunung apa? Gunung berapi. Orang tua dapat mencabut akar gunung berapi, muda mudi dapat menggoncang dunia. Kalau kita gembleng kedua- duanya, apa akan berlaku?
[Dewan ketawa]
Tuan Yang di-Pertua
Yang akan berlaku adalah seperti apa yang lirik satu lagu popular P. Ramlee. Yang Berhormat Menteri hafal lagu itu?
[Dewan ketawa]
Tuan Yang di-Pertua
“Seumpama dunia ana yang punya..” [Tepuk] Kita sebutkan ini sebab pasukan Komanwel kita telah mencatat satu prestasi yang menakjubkan. Walaupun kontinjen kecil, kita dapat 10 pingat. Lapan emas, tiga perak dan lima gangsa. Ini adalah pencapaian yang kedua terbaik kejohanan di luar Kuala Lumpur sejak tahun 2010. Sebab itu saya renungkan lagi kepada semua, kata- kata Sukarno tadi. Orang tua dengan orang muda mesti bekerjasama. Izinkan saya mengakhiri ucapan ini dengan dua rangkap pantun.
*Piala dunia melabuh tirai, Messi berlegasi, Yamal menggapai juara; Sidang Dewan telah usai, Amanah rakyat terus dipelihara.
Layar dikembang menuju muara, Angin bertiup tenang berseri; Sidang ditangguh seketika sahaja, Khidmat kepada rakyat kekal di hati.
[Tepuk]*
Tuan Yang di-Pertua
Ahli-ahli Yang Berhormat, dengan ini, Majlis Mesyuarat Dewan Negara ditangguhkan ke suatu tarikh yang ditetapkan ke atau pun tidak ditetapkan?
[Ketawa] Yang ditetapkan. Baca takwim ya. ‘Adjourn sine die’. Sekian. Wabillahi taufik wal-hidayah, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
[Dewan ditangguhkan pada pukul 4.16 petang]