Jul222026

Katalog Hansard

Dewan Negara
  Draf

[Tuan Yang di-Pertua **mempengerusikan Mesyuarat****]

draft10:00 AM
PERTANYAAN-PERTANYAAN BAGI JAWAB LISAN

Tuan Yang di-Pertua

Bismillahirrahmanirrahim, Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera. Ahli-ahli Yang Berhormat, hari ini 22 Julai 2026, dalam catatan sejarah adalah Hari Sarawak. Bagi pihak Dewan, kita mengucapkan Selamat Hari Sarawak.

[Tepuk] Sekarang kita mulakan Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan. Dipersilakan Yang Berhormat Senator Tuan Haji Musoddak bin Ahmad.

draft10:00 AM

Tuan Haji Musoddak bin Ahmad

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Soalan saya nombor 1.

draft10:00 AM

1. Tuan Haji Musoddak bin Ahmad minta Perdana Menteri menyatakan, apakah langkah kerajaan memperkukuh kesedaran kesiapsiagaan fizikal, mental dan kesihatan jemaah haji serta umrah sebelum berlepas bagi mengurangkan risiko kecemasan kesihatan di Tanah Suci.

draft10:00 AM

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) - Dr. Zulkifli bin Hasan

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan selamat pagi, Selamat Hari Sarawak kepada seluruh rakyat warga Sarawak.

Terima kasih Dato Yang di-Pertua, terima kasih Yang Berhormat Senator Tuan Haji Musoddak Ahmad atas soalan yang diajukan. Izinkan saya memberikan pencerahan dan penjelasan sebaik-baiknya.

Alhamdulillah, operasi haji musim 2026 ini telah tamat secara rasmi dengan lancar dan jayanya hasil perancangan awal yang teliti dan penambahbaikan berterusan yang dilaksanakan oleh Tabung Haji. Ini termasuk dari aspek pengukuhan kesiapsiagaan kesihatan jemaah haji sehingga membolehkan Tabung Haji menerima pengiktirafan antarabangsa tertinggi, Anugerah Labaytum (Diamond Award) buat kali kedua berturut-turut dan untuk tahun kelima berturut-turut.

Menyedari kemampuan dari sudut kesihatan menjadi salah satu syarat istito’ah haji

(kemampuan), Lembaga Tabung Haji amat menitikberatkan kesedaran kesiapsiagaan kecergasan fizikal dan mental bakal haji sebelum berlepas ke Tanah Suci. Sehubungan itu, pelbagai program dan penambahbaikan telah dilaksanakan oleh Tabung Haji bagi meningkatkan kesedaran penjagaan kesihatan bakal haji.

Antaranya, pemberian notifikasi peringatan awal kepada bakal haji, seawal dua tahun sebelum jangkaan giliran haji bagi memberi tempoh yang mencukupi untuk membuat persediaan rapi, meliputi aspek keseluruhan termasuk pemeriksaan kesihatan kendiri dan amalan gaya hidup yang lebih sihat.

Selain itu, Tabung Haji telah menambah baik modul bimbingan kesihatan dalam siri Program Bimbingan Haji meliputi Kursus Asas Haji, Kursus Intensif Haji dan Kursus Perdana Haji. Bermula pada 2025, Tabung Haji juga telah memperkenalkan Program Thoriq Ya Hajj iaitu cabaran berjalan kaki secara maya untuk semua bakal haji yang menghadiri Kursus Asas Haji.

Usaha meningkatkan kesedaran turut diperkukuh dan diperluas melalui peringatan berkala kepada bakal jemaah haji menerusi hebahan maklumat, seperti temu bual media bersama pakar kesihatan, info grafik dan kandungan media sosial bagi meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan kesiapsiagaan kesihatan fizikal, mental dan emosi sebelum berangkat ke Tanah Suci.

Komitmen inisiatif ini diteruskan sepanjang operasi haji di Tanah Suci, di mana Tabung Haji menempatkan petugas perubatan yang bertauliah daripada Kementerian Kesihatan Malaysia merangkumi pakar psikologi, fisioterapi dan kaunseling bagi memastikan kesihatan, kebajikan dan keselamatan jemaah haji sentiasa terpelihara sepanjang musim haji.

Di samping itu, semua jemaah haji, khususnya muassasah Tabung Haji turut diberikan perlindungan takaful sepanjang tempoh operasi haji yang meliputi manfaat berkaitan kematian, kemalangan, rawatan, kelewatan penerbangan, kehilangan bagasi, pengebumian tertakluk kepada terma syarat dan perlindungan. Terima kasih.

draft10:00 AM

Tuan Haji Musoddak bin Ahmad

Terima kasih Yang Berhormat Menteri. Pertamanya, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Tabung Haji atas kejayaan menerima Anugerah Labaytum (Diamond Award) daripada Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi.

Pengiktirafan tertinggi ini yang diterima buat kali kedua berturut-turut mencerminkan kecemerlangan Malaysia dalam pengurusan haji serta pemeliharaan kebajikan haji.

draft10:00 AM

Tuan Haji Musoddak bin Ahmad

Keduanya, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada seluruh warga Tabung Haji bermula daripada Menterinya sendiri, Pengerusi Ketua Eksekutif dan semua kakitangan yang telah berkhidmat dengan penuh dedikasi, profesional dan kesabaran bagi memastikan urusan jemaah haji Malaysia berjalan dengan lancar.

Soalan tambahan saya, apakah pelan tindakan kerajaan untuk mengesan secara awal jemaah yang mengalami gejala batuk, demam ataupun disyaki menghidap penyakit yang berjangkit serta menyediakan kemudahan pengasingan sementara yang sesuai bagi mengelakkan penularan kepada rakan sebilik dan jemaah lain?

Yang keduanya, apakah usaha kerajaan untuk berunding dengan Kerajaan Saudi supaya pusat rawatan ataupun hospital khas Malaysia dapat diwujudkan semula bagi memudahkan jemaah haji Malaysia mendapat rawatan segera dan teratur? Sekian, terima kasih.

draft10:10 AM

Dr. Zulkifli bin Hasan

Terima kasih Yang Berhormat. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, semua negara perlu mematuhi syarat kesihatan yang dikuatkuasakan oleh Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi dan bermula pada pertengahan musim haji 2025, Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi hanya membenarkan setiap negara menyediakan fasiliti kesihatan bagi perkhidmatan pesakit luar sahaja.

Namun begitu, Tabung Haji telah melaksanakan kerjasama dengan pihak Saudi German Health iaitu syarikat jaringan hospital swasta yang terbaik di Arab Saudi, terutama di kawasan Tanah Suci di Mekah, Madinah dan juga Jeddah.

Tabung Haji sentiasa komited untuk menyampaikan perkhidmatan yang mengutamakan keselamatan, keselesaan dan kebajikan jemaah haji Malaysia. Malahan, Tabung Haji bersedia untuk mewujudkan semula Pusat Rawatan Tabung Haji, sekiranya mendapat kebenaran daripada Kerajaan Arab Saudi.

Berkenaan dengan langkah-langkah penyakit, mengelakkan daripada penyakit berjangkit dan sebagainya, sememangnya Tabung Haji memberikan perkhidmatan yang terbaik dan juga membimbing dan memberikan nasihat kepada semua jemaah haji sejak dari Tanah Suci sehinggalah berada di Tanah Suci untuk menjaga kesihatan, kebersihan dan sebagainya.

Dan sememangnya Tabung Haji menyediakan perkhidmatan sekiranya ada keperluan untuk mengadakan satu transit lounge, di mana kita ingin memberikan perkhidmatan haji yang terbaik. Malahan, Tabung Haji juga mengadakan lawatan kesihatan daripada bilik ke bilik di Tanah Suci dan kita juga ada ruang isolasi di maktab-maktab penginapan jemaah haji kita.

Terima kasih.

draft10:10 AM

Tuan Haji Baharuddin bin Ahmad

Tambahan.

draft10:10 AM

Tuan Yang di-Pertua

Yang Berhormat Senator Dato’ Seri Prof. Dr. Noor Inayah dulu.

draft10:10 AM

Dato' Seri Prof. Dr. Noor Inayah binti Ya'akub

Terima kasih Dato Yang di-Pertua, salam Hari Sarawak. Assalamualaikum YB.

Kita ingin mengekalkan prestasi dan kecemerlangan Tabung Haji setiap tahun dan kalau boleh, selagi hayat dikandung badan. Walau bagaimanapun, kita perlu mengekalkan kepercayaan rakyat terhadap servis yang diberikan oleh Tabung Haji.

Bagaimana YB. menangani isu-isu berkenaan integriti, ketelusan penjualan aset sebelum ini yang boleh kita tambahkan lagi kepercayaan di peringkat dunia, malah menjadi rujukan di peringkat dunia? Terima kasih YB.

draft10:10 AM

Dr. Zulkifli bin Hasan

Terima kasih Yang Berhormat. Tuan Yang di-Pertua, saya mohon ihsan Tuan Yang di-Pertua untuk tambah sedikit masa bagi memperjelaskan isu yang sangat penting ini, kerana terlalu banyak berita-berita yang tidak benar bertebaran di pasaran ataupun di dalam masyarakat.

Saya ingin tegaskan di sini bahawa ada dakwaan mantan Ketua Setiausaha Perbendaharaan menjual aset strategik Tabung Haji. Ini adalah tidak benar dan palsu. Apa yang berlaku sebenarnya adalah operasi menyelamat. Dalam erti kata yang lain, operasi bailout yang institusi kewangan umat Islam yang terkesan akibat daripada kerakusan penyelewengan dana pendeposit sebelum tahun 2018.

Keputusan penjualan aset Tabung Haji yang kurang berdaya saing dan bermasalah kepada syarikat tujuan khas (SPV) milik penuh kerajaan iaitu Urusharta Jamaah Sdn. Bhd.

adalah keputusan kolektif Kabinet kerajaan pada tahun 2018.

Fakta yang perlu difahami, Ketua Audit Negara dan Bank Negara Malaysia telah mendedahkan masalah kewangan serius Tabung Haji apabila jurang defisit antara aset dan liabiliti mencecah RM10.9 bilion pada tahun 2018.

Mengikut Akta Tabung Haji 1995, Tabung Haji tidak boleh mengumumkan agihan keuntungan selagi liabiliti melebihi aset. Ertinya, tanpa tindakan segera, jutaan pendeposit tidak akan menerima sebarang agihan dividen. Pada ketika itu juga, berlaku krisis keyakinan. Sekitar RM6 bilion dikeluarkan pendeposit dalam tempoh yang singkat, manakala usaha mendapatkan pinjaman siap sedia (standby loan) gagal. Sekiranya Tabung Haji runtuh, Tuan Yang di-Pertua, kerajaan berisiko menanggung liabiliti sekitar RM74.5 bilion kerana simpanan Tabung Haji dijamin sepenuhnya oleh kerajaan.

Oleh itu, kerajaan pada waktu itu bertindak menubuhkan Urusharta Jamaah Sdn. Bhd., syarikat milik penuh kerajaan untuk membeli aset Tabung Haji yang bermasalah dan kurang berdaya saing pada harga premium dan bukan harga murah. Hanya semata-mata untuk menutup jurang defisit RM10.9 bilion dan membolehkan Tabung Haji terus membayar agihan keuntungan. Maksudnya, kerajaan yang menanggung beban, bukan mengaut keuntungan daripada Tabung Haji.

Aset ini juga tidak hilang daripada Tabung Haji. Perjanjian memperuntukkan hak Right of First Refusal dan Tabung Haji boleh membeli semula aset tersebut pada masa hadapan.

Memandangkan kedudukan kewangan Tabung Haji kini telah kembali kukuh, alhamdulillah, Tabung Haji mempunyai kapasiti untuk memperoleh semula aset-aset yang dijual sebelum ini, tertakluk kepada kriteria pelaburan.

Buktinya, baru-baru ini tanah Tun Razak Exchange yang dijual kepada nilaian RM400 juta pada 2018 telah dibeli semula oleh Tabung Haji pada harga RM270 juta berdasarkan nilai pasaran semasa dan ladang kelapa sawit UJ Estates (Holdings) Sdn. Bhd. yang dijual pada nilaian RM800 juta, dibeli semula tahun ini, alhamdulillah, pada nilai pasaran semasa RM695 juta, termasuk tunai RM115 juta iaitu enterprise value sekitar RM580 juta. Ini bermakna, aset telah kembali kepada Tabung Haji, malah pada harga yang menguntungkan.

Akhir, keputusan menyelamat Tabung Haji pada waktu itu terbukti tepat dan berhasil pada hari ini. Buktinya, deposit meningkat daripada sekitar RM69.4 bilion 2019 kepada lebih RM95.1 bilion pada pertengahan Jun, pertengahan 2026. Kadar agihan keuntungan naik daripada 1.25 peratus sahaja pada 2018 kepada Tuan Yang di-Pertua, 3.5 peratus pada tahun 2025. Tertinggi dalam tempoh lapan tahun.

Ketiga, kos haji kekal tiga tahun berturut-turut walaupun inflasi berlaku. Yang keempat, mutu perkhidmatan haji diiktiraf dunia dengan anugerah tertinggi Labaytum Diamond Award dua tahun berturut-turut dan yang lebih menggembirakan kita, Tabung Haji juga telah mula berjaya meningkatkan reserve ataupun rizab sebagai sebahagian daripada pengurusan yang berhemah.

Tuan Yang di-Pertua, oleh sebab ramai yang keliru dan terpedaya dengan dakwaan ini serta terdapatnya gesaan untuk mendedahkan dokumen laporan akhir Suruhanjaya Diraja

(RCI) Tabung Haji kepada umum. Perkara ini, insya-Allah akan dibincangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri untuk diputuskan.

Makanya, janganlah kita biarkan naratif yang memutarbelitkan fakta. Adalah tidak wajar mengatakan bahawa mantan KSP menjual aset strategik Tabung Haji tanpa penjelasan fakta yang lengkap. Rekodnya jelas. Yang merosakkan Tabung Haji ialah kerakusan penyelewengan sebelum 2018, manakala kerajaan ketika itu sedaya upaya mahu menyelamatkan institusi terpenting umat Islam di Malaysia. Sekian, terima kasih.

draft10:10 AM

Dr. Hajah Wan Martina binti Wan Yusoff

[Bangun]

draft10:10 AM

Tuan Haji Baharuddin bin Ahmad

Terima kasih Dato Yang di-Pertua, Yang Berhormat Menteri. Berhubung dengan anugerah Labaytum Diamond Award yang diterima Tabung Haji.

draft10:10 AM

Tuan Haji Baharuddin bin Ahmad

Ini bermakna pengiktirafan kepada Lembaga Tabung Haji daripada Kerajaan Arab Saudi. Adakah sehingga kini, negara-negara sahabat khasnya yang ingin mencontohi kejayaan Tabung Haji dan jika ada, adakah pihak Tabung Haji bersedia untuk kongsi ataupun share pengalaman ilmu yang ada ini supaya jemaah haji negara lain juga menikmati kemudahan sepertimana yang dinikmati oleh jemaah haji kita. Terima kasih.

draft10:20 AM

Dr. Zulkifli bin Hasan

Terima kasih Yang Berhormat. Kejayaan Malaysia ini merupakan kebanggaan negara. Kita ingin menzahirkan setinggi terima kasih kepada petugas haji, pengurusan dan juga jemaah haji Malaysia yang menunjukkan contoh dan tauladan yang sangat baik.

Di antara liputan yang mendapat liputan terhebat di peringkat dunia dan antarabangsa adalah bagaimana jemaah haji kita menguruskan kebersihan, dari segi aspek keselamatan dan sebagainya di sepanjang operasi haji termasuk di kawasan Mina dan sebagainya. Baik, berkenaan dengan perkara yang ditanya sebentar tadi iaitu adakah Malaysia bersedia.

Sememangnya kita sentiasa bersedia untuk memberikan bimbingan ataupun berkongsi resepi kejayaan— bagaimana kita menguruskan haji ini sebaiknya. Di peringkat Tabung Haji, kita sebenarnya sudah pun menerima pelbagai permohonan daripada banyak negara untuk mempelajari daripada Malaysia berkenaan dengan aspek pengurusan haji yang menyeluruh daripada tanah air sehingga ke Tanah Suci dan semula pulang. Dan kita juga bersedia untuk membimbing mana-mana pihak yang ingin mendapatkan kepakaran dan juga pengalaman Tabung Haji.

Tabung Haji sentiasa bersedia dan ketika saya berada di Tanah Suci semasa bersama- sama dengan jemaah haji Malaysia, kita benar-benar mendapat pengiktirafan daripada semua negara, malahan semua melihat bahawa Malaysia adalah penetap kepada benchmark standard kepada pengurusan haji yang terbaik di dunia. Doakan kami supaya boleh melakukan sebaiknya sehinggalah ke akhirnya. Terima kasih.

draft10:20 AM

Tuan Yang di-Pertua

Soalan tambahan yang terakhir, Yang Berhormat Senator Dr.

draft10:20 AM

Hajah Wan Martina. Dr. Hajah Wan Martina binti Wan Yusoff

Terima kasih Dato Yang di-Pertua. Selamat Hari Sarawak. Pertanyaan saya adalah berkaitan dengan isu kesihatan jemaah haji dan saya nak ucapkan tahniah kepada Tabung Haji juga.

Seperti yang disebut tadi, inisiatif yang telah ditetapkan oleh— yang telah dilaksanakan oleh Tabung Haji adalah pemeriksaan ataupun notifikasi dua tahun sebelum bakal haji menerima jemputan haji. Jadi, saya ingin membangkitkan soalan ataupun boleh dijadikan juga sebagai satu cadangan. Kebetulan saya juga adalah pemeriksa bertauliah untuk bakal haji dan saya sangat dukacita bila tahun lepas, bila saya membuat pemeriksaan, ramai yang tidak dapat saya luluskan untuk mereka pergi haji dan mereka merayu.

Jadi, saya nak bangkitkan dan sebagai satu cadangan supaya bila jemaah haji mendapat notifikasi dua tahun, seawal dua tahun, maka Tabung Haji juga mewajibkan pemeriksaan kesihatan pertama kali di situ supaya mereka dapat— mendapat tahu penyakit mereka seawal dua tahun dan mereka boleh stabilkan penyakit-penyakit mereka.

Jadi, dua tahun itu memang cukup. Cukup untuk mereka stabilkan penyakit-penyakit.

Jadi, saya mohonlah pandangan daripada Yang Berhormat Menteri dan juga boleh jadikan ia sebagai satu pandangan untuk cadangan, untuk kebaikan masa depan. Terima kasih.

draft10:20 AM

Dr. Zulkifli bin Hasan

Terima kasih Yang Berhormat. Nasihat daripada doktor kita perlu patuhi. Jadi, cadangan Yang Berhormat untuk diadakan pemeriksaan kesihatan pertama kali itu kita akan pertimbangkan dan barangkali Tabung Haji akan melaksanakan tindakan sewajarnya.

Apa yang kita lakukan pada hari ini sememangnya notifikasi awal ini banyak membantu.

Sebelum ini, sebagai contoh ramai yang menangguhkan kerana ada faktor-faktor, tetapi apabila kita memberikan notifikasi awal, ia nya telah berkurang yang memohon untuk penangguhan.

Ini menunjukkan bahawa notifikasi awal adalah sangat signifikan dan pemeriksaan kesihatan pertama kali itu juga akan membantu lebih ramai yang boleh menunaikan haji mengikut giliran sepertimana yang telah disusun. Terima kasih.

draft10:20 AM

Tuan Yang di-Pertua

Ahli-ahli Yang Berhormat, di galeri awam, kita mengalu-alukan kedatangan Persatuan Guru Besar Malaysia Zon Saratok. Saratok ini di Sarawak [Tepuk] dan juga hari ini Hari Sarawak. Selamat Hari Sarawak daripada kita, daripada Dewan Negara.

Dewan Negara ini ialah badan legislatif ataupun penggubal undang-undang yang tertinggi di Malaysia. The Upper House of the Malaysian Parliament. Selamat datang ke Dewan Negara. Seramai 17 orang guru besar. YB, Pele, you yang bawa kah? YB. yang bawa kah?

Dia orang datang nak belajar ke nak tengok you buat kerja?

[Ketawa]

draft10:20 AM

Tuan Pele Peter Tinggom

Melawat Kuala Lumpur.

draft10:20 AM

Tuan Yang di-Pertua

Okey, selamat datang. Yang Berhormat Senator Tuan Larry anak Asap.

draft10:20 AM

Tuan Larry anak Asap

Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Selamat Hari Sarawak.

Soalan saya soalan nombor 2. Terima kasih.

draft10:20 AM

2. Tuan Larry anak Asap minta Perdana Menteri menyatakan, status terkini pelaksanaan dasar Borneonisasi terhadap Perkhidmatan Awam Persekutuan di Sabah dan Sarawak.

draft10:20 AM

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) - Datuk Ts. Mustapha Sakmud

Terima kasih. Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Selamat salam Malaysia MADANI dan juga saya ucapkan bagi pihak Jabatan Perdana Menteri, kami mengucapkan Selamat Hari Sarawak ya kepada Dato Sri Speaker dan semua Senator kita dan juga guru-guru kita, guru-guru besar dan juga semua orang-orang Sarawak di Bumi Kenyalang dan juga di perantauan.

Dato Yang di-Pertua, untuk makluman Yang Berhormat, Kerajaan MADANI kekal komited dalam meneruskan rundingan mengenai perkara-perkara di bawah Perjanjian Malaysia 1963 yang dikemukakan oleh Kerajaan Negeri Sabah dan Kerajaan Negeri Sarawak, supaya dapat diselesaikan mengikut Perlembagaan Persekutuan dan kerangka perundangan sedia ada.

Perkara mengenai Borneonisasi perkhidmatan awam Persekutuan di negeri Sabah dan Sarawak, merupakan salah satu perkara yang dibincangkan dalam platform rasmi rundingan MA63 iaitu Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 yang dipengerusikan sendiri oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dan Jawatankuasa Teknikal di bawah MTPMA63 yang dipengerusikan oleh Yang Amat Berhormat Timbalan Perdana Menteri dan merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air.

Dan apa yang dibincangkan dalam jawatankuasa ini, yang melibatkan perkhidmatan awam ini, untuk Sabah— anak tempatan negeri Sabah diutamakan dalam perkhidmatan awam Persekutuan negeri Sabah, selaras dengan laporan IGC, di mana Kerajaan Negeri Sabah meminta 90 peratus Ketua Jabatan Persekutuan dan pengurusan atasan di Sabah hendaklah terdiri daripada anak tempatan Sabah.

Dan 95 peratus Kumpulan Pengurusan dan Profesional daripada Gred 41 hingga 52 hendaklah juga daripada anak Sabah dan daripada Kerajaan Negeri Sarawak menetapkan nisbah 80:20 bagi pengisian perjawatan ketua jabatan anak Sarawak di perkhidmatan awam Persekutuan di Sarawak. Dan Kerajaan Sarawak meminta agar dirujuk terlebih dahulu sebelum penempatan ketua jabatan dilaksanakan di agensi Jabatan Kerajaan Persekutuan Sarawak.

Itu yang dibincangkan.

Jadi, bagi memastikan perkara mengenai Borneonisasi perkhidmatan awam Persekutuan di negeri Sabah dan Sarawak ini diteliti dengan lebih terperinci, MTPMA63 telah bersetuju supaya Jawatankuasa Kerja Berkenaan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah dan Sarawak di bawah MTPMA63 yang dipengerusikan sendiri oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) ditubuhkan.

Jawatankuasa Kerja ini diterajui oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan keahlian terdiri daripada Kerajaan Negeri Sabah, Kerajaan Negeri Sarawak dan beberapa kementerian dan juga Jabatan Persekutuan.

Sehingga kini, Jawatankuasa Kerja berkenaan perkhidmatan awam negeri Sabah dan Sarawak di bawah MTPMA63 telah bermesyuarat sebanyak lima kali. Bagi saya masa sedikit ya Dato Speaker, ini penting untuk Borneo.

Kerajaan Persekutuan melalui JPA sentiasa menyokong Dasar Borneonisasi dengan memberi keutamaan kepada anak negeri Sabah dan Sarawak untuk berkhidmat di negeri kelahiran masing-masing. Ini merupakan prinsip yang diguna pakai dalam proses penempatan pegawai guna sama dengan mengambil kira aspek-aspek lain seperti kekosongan, merit, kesesuaian dan persetujuan kerajaan negeri.

Bagi memastikan Dasar Borneonisasi dilaksanakan dengan lebih menyeluruh, pemahaman dan penerangan juga telah diberikan kepada semua pengurusan sumber manusia kementerian, jabatan bagi menerangkan mengenai prosedur-prosedur pelaksanaan penempatan pegawai perkhidmatan bukan guna sama yang perlu mengutamakan pegawai kelahiran negeri Sabah dan Sarawak setelah saringan berdasarkan merit dan juga kesesuaian.

draft10:20 AM

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) - Datuk Ts. Mustapha Sakmud

Untuk makluman Yang Berhormat juga, perkara mengenai Borneonisasi Perlembagaan Awam Persekutuan di negeri Sabah dan Sarawak telah dikategorikan sebagai selesai sebahagian atau interim. JPA perlu melaporkan hasil semua perkara yang dibincangkan di Jawatankuasa Kerja Berkenaan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah dan Sarawak di bawah MTPMA63 dalam mesyuarat MTPMA63 dan juga Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal di bawah MTPMA63. Sekian, terima kasih.

draft10:30 AM

Tuan Larry anak Asap

Ada soalan tambahan. Soalan tambahan saya adalah bagaimana Kerajaan Persekutuan mengambil pendekatan jalan tengah untuk mengimbang di antara Dasar Borneonisasi dan Dasar Integrasi Nasional terhadap perjawatan Perkhidmatan Awam Persekutuan di Wilayah Sabah dan Wilayah Sarawak, khususnya di dalam sektor pendidikan? Terima kasih.

draft10:30 AM

Datuk Ts. Mustapha Sakmud

Terima kasih soalan tambahan Yang Berhormat Senator. Okey. Dari segi pendidikan, memang Kementerian Pendidikan juga seperti yang saya bincangkan tadi ialah tentang Dato Speaker, tentang jawatan-jawatan utama. Tetapi berdasarkan polisi yang ditekankan oleh Kementerian Pendidikan terutamanya, ramai sudah guru-guru yang berasal daripada Sabah dan Sarawak ini, ditempatkan di negeri kelahiran masing-masing. Jadi, memang itu antara yang cuba diseimbangkan.

Cuma satu yang menarik untuk perhatian semua ya, saya juga telah— Ya kita bincang tentang Borneonisasi, tetapi kita kena maklum juga, di Semenanjung ya, di Semenanjung, ramai— Sebanyak 37,575 yang daripada Sabah dan Sarawak. Okey. Telah juga ditempatkan ya. Kumpulan pengurusan tertinggi saja ada 120. Kumpulan pelaksana ada 21,942 dan kumpulan pengurusan dan profesional, 15,513 orang yang semuanya lahir daripada Sabah dan Sarawak. Mereka berada di Semenanjung. Bekerja di Semenanjung.

Jadi, fikir ini pun antara yang kita cuba lihat, bagaimana kita cuba integrasikan.

Maknanya jangan kita lupa di Semenanjung ini, ramai anak-anak Borneo Sabah dan Sarawak ini juga menjawat pelbagai jawatan yang tinggi, selain kita bincang, tapi untuk yang disebut oleh Yang Berhormat Senator tadi, memang Dasar Borneonisasi ini telah kita— JPA dan juga kementerian lain telah diberi taklimat khusus untuk pastikan, bukan sahaja di bawah JPA, tapi kementerian-kementerian lain pun perlu mengutamakan supaya diberi keutamaan kepada anak-anak daripada Borneo ini di Sabah dan juga Sarawak. Okey. Sekian, terima kasih.

draft10:30 AM

Tuan Abun Sui Anyit

Soalan.

draft10:30 AM

Tuan Pele Peter Tinggom

Soalan.

draft10:30 AM

Tuan Yang di-Pertua

Senator YB. Pele tunjuk kepada guru-guru dari kawasan kamu.

draft10:30 AM

Tuan Pele Peter Tinggom

Terima kasih Dato Yang di-Pertua. Soalan tambahan saya Yang Berhormat Menteri, adalah apakah tindakan yang diambil oleh pihak Yang Berhormat Menteri dan jawatankuasa ini, untuk memastikan jawatan kosong khususnya dalam perkhidmatan pendidikan dan kesihatan diisi oleh anak-anak Borneo yang setakat ini amatlah kritikal, khususnya kesihatan?

draft10:30 AM

Datuk Ts. Mustapha Sakmud

Okey. Terima kasih Yang Berhormat Senator.

Okey dalam MA63, antara yang perkara— yang juga dibincangkan tentang isu-isu pendidikan dan juga kesihatan, termasuk juga lah perjawatan-perjawatan yang berkaitan dengan guru-guru dan juga pakar-pakar, doktor-doktor kita di negeri Sabah dan juga Sarawak.

Memang seperti yang saya sebut tadi, keutamaan kepada anak negeri supaya mereka dapat berkhidmat di negeri masing-masing dan cuma saya tahu banyak, terutama melibatkan kesihatan ini banyak kekosongan di negeri kita.

Jadi, saya fikir usaha yang telah dibuat, terutama oleh Kerajaan Negeri Sabah dan Kerajaan Negeri Sarawak juga untuk memberi keutamaan untuk memberi biasiswa kepada anak-anak negeri ini untuk mengambil bidang kedoktoran supaya kita dapat mengisi kekosongan-kekosongan tersebut. Sebab seperti yang kita sedia maklum, sekarang ini untuk anak-anak daripada Semenanjung ke Sabah dan Sarawak ini, agak sukar bagi mereka untuk bertugas di kawasan luar bandar ini.

Jadi, yang kita perlu fikirkan bagaimana kita mengisi kekosongan itu dan memastikan bahawa anak-anak kita, kita galakkan mengambil bidang-bidang yang kritikal ini untuk kita tempatkan di negeri masing-masing. Sekian, terima kasih.

draft10:30 AM

Tuan Abun Sui Anyit

Soalan.

draft10:30 AM

Tuan Yang di-Pertua

Abun.

draft10:30 AM

Datuk Edward Linggu Bukut

Dato.

draft10:30 AM

Tuan Yang di-Pertua

Kita bagi Sabah. Kemudian, kamu soalan tambahan yang terakhir ya.

draft10:30 AM

Datuk Edward Linggu Bukut

Terima kasih Dato Speaker. Terima kasih Yang Berhormat Menteri kerana memberi penjelasan yang begitu bagus sekali. Sekadar sedikit soalan tambahan dengan Yang Berhormat Senator Pele iaitu apakah, adakah kerajaan bersedia menetapkan sasaran dan garis masa yang jelas bagi memastikan jawatan-jawatan strategik Persekutuan di Sabah dan Sarawak, khususnya dalam sektor pendidikan, kesihatan, keselamatan dan pentadbiran diisi oleh anak-anak tempatan yang berkelayakan, selaras dengan MA63 dan sekali gus, mohon bertanya kepada Menteri, sama ada pegawai-pegawai daripada Sabah dan Sarawak ini, ada juga kah diberi peluang di peringkat antarabangsa.

Maksud saya, diplomat kah, pesuruhjaya kah dan sebagainya. Ambasador kah. Terima kasih.

draft10:30 AM

Datuk Ts. Mustapha Sakmud

Terima kasih Yang Berhormat Senator, sahabat saya daripada Sabah. Okey.

Untuk makluman, setakat ini seperti yang diminta oleh Kerajaan Negeri Sabah dan juga Sarawak yang telah dibincangkan dalam Jawatankuasa Teknikal dan juga Jawatankuasa Induk, dari segi statistik, ini untuk jawatan tertinggi ya, jawatan tertinggi. Setakat ini, Kerajaan Negeri Sabah minta supaya 90 peratus pengisian jawatan utama diperuntukkan kepada orang- orang Sabah setakat ini, 69.70 peratus yang telah diisi oleh orang Sabah. Maknanya daripada 33 bilangan pengisian yang telah diisi oleh anak Sabah, 23 orang. Jadi statusnya 69.70 peratus ya.

Untuk negeri Sarawak, yang diminta adalah 80:20. 80 daripada kelahiran negeri Sarawak dan setakat ini, telah mencapai sebanyak 87.550 peratus di Sarawak dan daripada bilangan pengisian 32 orang. Jawatan utama diisi sebanyak 28 orang. Jadi, ini dari segi yang telah dibincangkan dalam MA63 dan seperti yang saya sebut tadi juga, memang kita juga tekankan supaya pengisian-pengisian lain itu juga diberi keutamaan kepada anak negeri Sabah dan juga Sarawak.

Untuk antarabangsa, memang ada sebenarnya. Cuma statistik tidak ada, tapi saya tahu ada beberapa pelantikan baharu yang untuk di duta-duta dan atase-atase kita di luar negara, ada juga melibatkan orang-orang Sabah dan juga Sarawak. Cuma dari segi bilangan, saya tidak ada buat masa ini. Okey. Terima kasih.

draft10:30 AM

Tuan Abun Sui Anyit

Ya.

draft10:30 AM

Tuan Yang di-Pertua

Soalan tambahan terakhir, YB. Abun.

draft10:30 AM

Tuan Abun Sui Anyit

Ya. Terima kasih Dato Yang di-Pertua. Sebenarnya Borneonisasi ini ayat yang dikatakan di situ adalah secepat mungkin. Sekarang sudah 63 tahun, kita membentuk Malaysia. Jadi, apakah sasaran dan garis masa kerajaan untuk memastikan jawatan-jawatan strategik dalam Perkhidmatan Awam Persekutuan di Sabah dan Sarawak benar-benar diisi oleh anak tempatan, selaras dengan semangat Borneonisasi dan selain itu, apakah mekanisme pemantauan yang digunakan bagi memastikan pelaksanaan ini mencapai objektifnya? Jangan kita beberapa tahun lagi, kita masih bercakap perkara yang sama. Terima kasih.

draft10:30 AM

Datuk Ts. Mustapha Sakmud

Terima kasih Yang Berhormat Senator. Seperti yang saya sebut tadi ya, yang telah dibincangkan dalam MA63 setakat ini, untuk Kerajaan Sarawak sudah tercapai sebenarnya. Tadi yang jawatan di peringkat tertinggi ya dan hanya Sabah saja yang ada masih dalam ada 20 peratus, yang kita perlu tekankan.

draft10:30 AM

Datuk Ts. Mustapha Sakmud

Jadi, itu yang di apa ni bincangkan dalam MA63 dan jawatan-jawatan lain itu memang juga diberi taklimat kepada semua kementerian agar memberi keutamaan kepada anak-anak negeri Sabah dan juga Sarawak ini. Dan itu juga yang saya sebut juga tadi sebenarnya di Semenanjung ini ramai sebenarnya anak-anak Borneo kita yang sepatutnya kita tap mereka ini ya.

Kalau boleh dengan pengalaman yang mereka ada di— dengan pelbagai agensi ya, kementerian di Semenanjung ini, terutama di Putrajaya ini kalau kita boleh tap mereka untuk kita bawa ke Sabah dan Sarawak untuk berkhidmat selepas ini, saya fikir itu antara inisiatif yang kita perlu tekankan. Sebab pengalaman mereka ini kita perlukan, untuk kita bawa, untuk membina kedua-dua negeri ini. Sekian, terima kasih.

draft10:40 AM

Tuan Yang di-Pertua

Yang Berhormat Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im.

draft10:40 AM

Dato' Setia Dr. Haji Mohd Na'im bin Mokhtar

*Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,* salam sejahtera selamat hari Sarawak. Terima kasih Dato’ Yang di-Pertua. Soalan saya nombor 3 .

draft10:40 AM

3. Dato' Setia Dr. Haji Mohd Na'im bin Haji Mokhtar minta Menteri Kewangan menyatakan, apakah implikasi kewangan kepada kerajaan susulan keputusan menetapkan harga diesel pada RM2.10 seliter di seluruh negara bermula Julai 2026, termasuk anggaran tambahan subsidi yang perlu ditanggung, sumber pembiayaan yang digunakan serta kesannya terhadap sasaran defisit fiskal negara.

draft10:40 AM

Timbalan Menteri Kewangan - Tuan Liew Chin Tong

Terima kasih Yang di-Pertua.

Saya ucapkan Selamat Hari Sarawak kepada Yang di-Pertua dan juga kepada semua rakan- rakan dari Sarawak. Terima kasih kepada Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im bin Mokhtar atas soalan yang dikemukakan.

Kerajaan telah melaksanakan BUDI diesel pada kadar RM2.10 di seluruh negara berkuat kuasa pada 1 Julai dengan MyKad digunakan sebagai alat pengesahan kelayakan subsidi. BUDI Diesel merupakan kesinambungan usaha kerajaan MADANI untuk memastikan manfaat subsidi diesel terus dinikmati oleh rakyat secara lebih bersasar di samping mengurangkan ketirisan, penyalahgunaan dan aktiviti penyeludupan yang membebankan kewangan negara.

Kerajaan telah menanggung subsidi hampir RM800 juta sebulan, bagi RON95 dan diesel pada bulan Januari dan bulan Februari tahun ini. Sebelum melonjak kepada sekitar RM5 bilion sebulan pada bulan Mac dan April 2026. Subsidi pada bulan Mei dan Jun 2026 pula menyederhana kepada sekitar RM4 bilion. Sekiranya harga pasaran semasa ini kekal, kerajaan dijangka akan menanggung jumlah subsidi produk petroleum hampir RM40 bilion bagi tahun 2026, tertakluk kepada pergerakan harga minyak mentah dunia, kadar pertukaran mata wang dan corak penggunaan sebenar.

Tanggungan subsidi adalah merupakan butiran perbelanjaan di bawah belanja mengurus atau OE. Di mana sumber pembiayaannya adalah dari sumber hasil kerajaan yang terdiri daripada hasil cukai, hasil bukan cukai dan terimaan bukan hasil. Walaupun kenaikan harga minyak meningkatkan perbelanjaan subsidi, ia juga menyumbang kepada peningkatan hasil berkaitan petroleum.

Setiap perubahan sebanyak USD1 setong kepada harga minyak mentah dunia dianggarkan memberi impak sekitar RM300 juta kepada hasil berkaitan petroleum Kerajaan Persekutuan, tidak termasuk dividen Petronas. Peningkatan hasil ini dapat membantu menampung sebahagian tekanan tambahan terhadap perbelanjaan subsidi bahan api.

Kerajaan juga membuat pemantauan prestasi kutipan hasil secara berkala bagi memastikan jumlah hasil dapat terus menampung keperluan perbelanjaan Kerajaan Persekutuan tanpa menjejaskan kedudukan fiskal negara dengan ketara.

Sehubungan itu, dapat dirumuskan bahawa pelaksanaan BUDI Diesel membuktikan bahawa reformasi subsidi boleh dilaksanakan secara berhemah dengan memastikan majoriti rakyat terus menikmati subsidi bahan api di samping mengurangkan ketirisan, melindungi pertumbuhan ekonomi dan memperkukuh kedudukan fiskal negara untuk manfaat rakyat secara keseluruhan. Terima kasih.

draft10:40 AM

Dato' Setia Dr. Haji Mohd Na'im bin Mokhtar

Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.

Terima kasih Yang Berhormat Timbalan Menteri atas jawapan kepada soalan itu tadi. Soalan tambahan saya, sekiranya harga minyak mentah dunia meningkat melebihi unjuran, adakah kerajaan masih yakin sasaran defisit fiskal dapat dikekalkan? Dan apakah pelan kontigensi yang telah disediakan oleh kerajaan bagi menghadapi risiko tersebut? Terima kasih.

draft10:40 AM

Tuan Liew Chin Tong

Terima kasih Yang di-Pertua. Buat setakat ini keadaan fiskal masih— masih dikekalkan seperti apa yang ataupun posisi fiskal masih dikekalkan dan unjuran juga masih dikekalkan berdasarkan apa yang saya telah sebut kerana walaupun ada kenaikan harga tetapi juga apa yang kita dapat daripada hasil melalui petroleum dengan kenaikan harga setiap USD, dia akan bawa apa ni RM300 juta.

Maka, unjuran kita masih kekal tetapi apabila sampai masa bulan Oktober, apabila Yang Amat Berhormat Perdana Menteri membentangkan belanjawan untuk tahun depan, kita akan memberi ataupun maklumkan unjuran yang pada masa itu. Buat setakat ini diunjurkan kalau berdasarkan unjuran sekarang iaitu buat setakat ini sekitar paras USD90 setong, maka subsidi petrol RON95 diunjurkan sekitar RM2 bilion sebulan manakala subsidi diesel pula sekitar RM1.5 bilion sebulan. Terima kasih Yang di-Pertua.

draft10:40 AM

Tuan Haji Hussin bin Ismail

Soalan tambahan.

[Bangun]

draft10:40 AM

Puan Rita Sarimah anak Patrick Insol

Soalan tambahan.

[Bangun]

draft10:40 AM

Datuk Anna Bell @ Suzieana binti Perian

Soalan tambahan.

[Bangun]

draft10:40 AM

Tuan Yang di-Pertua

Kita bagi wanita lah selepas itu, selepas itu. Okey.

draft10:40 AM

Puan Rita Sarimah anak Patrick Insol

Terima kasih Dato Yang di-Pertua. Soalan saya adalah berkaitan dengan subsidi diesel ya. Saya percaya kementerian— Kabinet maklum tentang rintihan dan kemarahan penduduk Sabah dan Sarawak atas kuota subsidi diesel baru- baru ini yang amat membebankan, khususnya penduduk di luar bandar yang bergantung pada pikap dan juga pekebun kecil dan banyak pengguna pacuan empat roda. Dan apakah kerajaan akan menyemak semula, memperhalusi semula kuota bagi diesel yang bersubsidi bagi Sarawak? Terima kasih.

draft10:40 AM

Tuan Liew Chin Tong

Terima kasih Yang Berhormat. Untuk pikap, mereka boleh memohon dan dapat 100 liter lagi untuk kuota dan untuk yang lain, saya dan pihak kementerian bersedia untuk membuat engagement dengan Ahli-ahli Dewan Negara dan mendengar pandangan daripada Ahli-ahli Yang Berhormat. Terima kasih.

draft10:40 AM

Tuan Yang di-Pertua

Ya Senator Tuan Haji Hussin dan selepas itu Senator Datuk Anna Bell dan terakhir Datuk Phoong.

draft10:40 AM

Tuan Haji Hussin bin Ismail

Terima kasih Dato’ Yang di-Pertua. Sarawak tadi marah dengan Sabah marah, orang Semenanjung ni kecik hati lama dah kes diesel

draft10:40 AM

[Dewan ketawa]

Tuan Haji Hussin bin Ismail

Sarawak dapat murah, Sabah dapat murah, Semenanjung kekal ni baru dapat RM2.10, tapi saya nak sebutnya Yang Berhormat Dato Yang di-Pertua ialah diberi RM2.10 ini untuk subsidi.

Yang tak subsidi RM3.97.

Yang peralatan jentera yang membabitkan industri pertanian dan lain-lain, semuanya kekal dengan harga tanpa subsidi. Saya pergi baru-baru ini, ada beberapa termasuk juga mini sawmill tutup sebab kos diesel terlalu mahal. Kos operasi jadi tinggi. Ini membabitkan kos akhir produk juga menjadi tinggi.

Saya mohon supaya terutama sekali Yang Berhormat Menteri ialah orang kampung yang ada traktor. Ada sikit-sikit ini pun tak ada geran mudah tapi oleh sebab tak ada geran, tak boleh dapat subsidi. Jadi, tolong pertimbangkan sebab itu utama sekali yang terlibat dalam bidang pertanian dan industri kecil mereka sangat suffer sangat derita dengan kos diesel. Dan ini memberi kesan kepada harga barangan yang mereka keluarkan tidak kompetitif. Mohon pencerahan.

draft10:40 AM

Tuan Liew Chin Tong

Terima kasih Yang Berhormat. Memang kerajaan— keadaan di mana ada juga tekanan untuk memastikan kedudukan fiskal. Itu satu tekanan. Kedua ialah untuk memastikan tidak ada ketirisan dalam proses ini. Ketiga ialah untuk memastikan aktiviti ekonomi berjalan secara lancar dan juga aktiviti ekonomi tidak terjejas dalam keadaan di mana perang di Asia Barat masih berlarutan.

draft10:40 AM

Tuan Liew Chin Tong

Maka kalau ada kes yang sangat spesifik melibatkan satu kumpulan ataupun satu group ataupun satu industri, mungkin mereka boleh bawa kepada kementerian dan kami akan cuba dengar dan cuba selesaikan. Kerajaan tidak cadang untuk bagi blanket untuk semua orang atau semua orang dalam satu kategori kerana kami juga menghadapi tekanan-tekanan dan juga pilihan yang perlu diputuskan. Terima kasih.

draft10:50 AM

Tuan Yang di-Pertua

Datuk Anna.

draft10:50 AM

Datuk Anna Bell @ Suzieana binti Perian

Terima kasih Dato Yang di-Pertua. Soalan tambahan saya, mengingat kepada bentuk muka bumi di Sabah dan Sarawak, adakah Kementerian Kewangan (MOF) sedang mempertimbangkan untuk menaikkan had kuota subsidi seperti Inisiatif BUDI Diesel kepada kapasiti yang lebih relevan? Contohnya 500 liter sebulan, berbanding kadar sedia ada.

Yang kedua, bagaimanakah MOF menyelaraskan data pendaftaran dan mewujudkan mekanisme pendaftaran alternatif, supaya pengguna diesel yang layak di kawasan pedalaman tanpa liputan Internet stabil tidak tercicir daripada menerima bantuan subsidi tersebut? Sekian, terima kasih.

draft10:50 AM

Tuan Liew Chin Tong

Terima kasih Yang Berhormat Senator. Untuk soalan kedua, kalau ada keadaan di mana dia tak ada Internet ataupun tak ada akses kepada Internet, mungkin kita boleh buat program khusus untuk satu tempat dan meminta agensi di bawah Kementerian Kewangan untuk membantu.

Untuk secara amnya, kerajaan bersedia untuk menimbang untuk kumpulan yang khusus. Kalau seperti mereka yang mengguna pakai pikap telah diperuntukkan bahawa mereka boleh tambah 100 liter dengan permohonan yang sangat-sangat mudah. So, kalau ada kes yang spesifik, minta beritahu, kami akan cuba bantu. Terima kasih.

draft10:50 AM

Tuan Yang di-Pertua

Ini soalan tambahan yang terakhir ya.

draft10:50 AM

Datuk Phoong Jin Zhe

Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Walaupun saya ambil maklum Yang Berhormat Menteri bagi justifikasi berkenaan dengan BUDI Diesel di Sabah dan Sarawak, pelaksanaannya, jawapan diterima tetapi tidak dapat dinafikan bahawa pelaksanaan BUDI Diesel di Sabah dan Sarawak khususnya di Sabah telah membawa kesengsaraan dan kesusahan yang besar kepada ramai orang.

So, saya nak tanya, adakah kerajaan sudi membuat semakan, pertimbangan secara teliti, bagaimana kita boleh mengatasi masalah-masalah yang timbul seperti rakan-rakan Senator yang bawa tadi? Adakah kerajaan sudi naikkan kuota? Adakah kerajaan sudi melihat, apakah golongan yang tercicir khususnya untuk dump truck dan banyak jenis kenderaan yang tidak diberikan diesel bersubsidi?

Dan juga kenapa kerajaan tidak memberi pertimbangan kepada khususnya Sabah dan Sarawak kaedah yang sama seperti BUDI95, kerana saya hendak bawa perhatian kepada Yang Berhormat Menteri, kerana banyak di Sabah dan Sarawak kenderaannya bukan di bawah daftar nama dia. Dia mungkin di bawah daftar nama keluarga.

So, banyak isu-isu yang tertimbul setelah pelaksanaan Budi Diesel di Sabah dan Sarawak pada 1 Julai ini. So, saya rasa, saya harapkan mohon kerajaan untuk membuat pertimbangan dan semakan, adakah kerajaan sudi buat begitu? Terima kasih.

draft10:50 AM

Tuan Liew Chin Tong

Terima kasih kepada rakan saya Datuk Phoong Jun Zhe yang mungkin ini soalan pertama saudara di Dewan Negara ini ya, betul?

[Ketawa] Okey, saya mengalu-alukan cadangan dan seperti apa yang saya kata tadi, saya janji kalau Dewan Negara boleh buat satu sesi engagement atau sesi perbincangan, Kementerian Kewangan bersedia bertemu dengan semua Ahli-ahli Yang Berhormat dari Sabah dan Sarawak untuk membincangkan apa kaedah yang boleh dilaksanakan.

Memang untuk penduduk di Sabah dan Sarawak sebelum ini mereka dapat unlimited dan yang sekarang ini cara bersasar. Cara bersasar dilaksanakan kerana kita ada juga tanggungjawab. Kerajaan ada tanggungjawab untuk memastikan tidak ada ketirisan dalam penggunaan diesel dan kerajaan bersedia untuk mendengar dan memperbaiki keadaan. Dan saya juga minta Ahli-ahli Yang Berhormat bantu kerajaan, kerana ini memang tanggungjawab kita bersama supaya kita memastikan rakyat dibantu dan juga keadaan kewangan negara dijaga bersama dan ketirisan kita cegah bersama. Terima kasih.

draft10:50 AM

Tuan Yang di-Pertua

Yang Berhormat Senator Haji Hussin.

draft10:50 AM

Tuan Haji Hussin bin Ismail

Terima kasih, Dato Yang di-Pertua.

Sepandai-pandai tupai melompat, Akhirnya jatuh ke tanah jua; Dah lama tunggu penuh harap, Soalan nombor empat hari ini tiba juga”. Pohon Yang Berhormat Menteri.

draft10:50 AM

Tuan Yang di-Pertua

[Ketawa]

draft10:50 AM

4. Tuan Haji Hussin bin Ismail minta Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam menyatakan, status terkini perancangan pembangunan Unsur Nadir Bumi (REE) negara, setakat mana kemajuan pelaksanaannya serta sama ada negeri-negeri pemilik rizab REE seperti Terengganu dilibatkan secara aktif dalam pembangunan REE.

draft10:50 AM

Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam - Tuan Syed Ibrahim bin Syed Noh

Terima kasih Dato Yang di-Pertua. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih kepada Yang Berhormat Tuan Haji Hussin bin Ismail, Senator, orang lama.

*Senatornya orang lama; Insya-Allah jawapan nombor empat kita bagi yang ternama.

Ceh*, bolehlah tu. Tak tahu bunyinya macam kena. Dato Yang di-Pertua, dari segi REE, secara khususnya ataupun Industri Unsur Nadir Bumi memang menjadi perhatian kerana dia merupakan aset strategik negara. Oleh kerana itu, untuk makluman, kita memang sedang mempergiat usaha pembangunan industri unsur nadir bumi ini ataupun REE secara menyeluruh, yang merangkumi keseluruhan rantaian nilai iaitu sektor huluan, pertengahan dan hiliran.

Pendekatan ini supaya kita boleh memastikan sumber REE negara dibangunkan secara bertanggungjawab dan mampan, di samping kita memaksimumkan manfaat ekonomi melalui perwujudan bernilai tambah tinggi dalam negara. Untuk mempercepat dan menyelaras pembangunan industri REE negara, kerajaan telah tubuhkan Pasukan Petugas Khas ataupun Special Task Force (STF) Hala tuju Pembangunan Industri REE Negara yang diterajui oleh Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam.

STF ini berperanan sebagai platform penyelarasan strategik antara kementerian, agensi dan kerajaan negeri dalam merangka hala tuju pembangunan keseluruhan rantaian nilai REE negara. Pelaksanaannya disokong oleh tiga Jawatankuasa Teknikal yang masing-masing memberi tumpuan kepada pembangunan sektor huluan yang turut melibatkan pihak berkuasa negeri, Pembangunan Sektor Pertengahan dan Hiliran serta Penyelidikan Pembangunan Pengkomersialan dan Inovasi (RDCNI).

Dari segi kemajuan pelaksanaan di peringkat huluan, Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) sedang melaksanakan projek penilaian potensi sumber unsur nadir bumi fasa 2 di bawah Rancangan Malaysia yang ketiga belas. Projek ini melibatkan 10 buah negeri, termasuk Terengganu dengan sasaran mengenal pasti tambahan sebanyak 200,000 tan metrik sumber REE terukur (measured resources). Pelaksanaan ini penting bagi meningkatkan tahap keyakinan terhadap inventori sumber REE negara serta menyediakan asas teknikal yang lebih kukuh bagi perancangan pembangunan industri pada masa hadapan.

Untuk makluman Yang Berhormat juga, secara lebih terperinci sumber REE yang kita kenal pasti melalui kajian eksplorasi JMG di Terengganu, sumber teragak iaitu sumber keseluruhannya ialah 7,187,500 tan metrik. Sumber terukur ialah 48,800 maksudnya ini daripada 200,000 tan metrik yang saya sebutkan pada awal tadi.

Di peringkat pertengahan Yang Berhormat, kerajaan sedang mempergiatkan usaha untuk membangunkan keupayaan teknologi pemprosesan dan pengasingan REE dalam negara termasuk melalui pembangunan kapasiti tempatan dan kerjasama teknologi strategi dengan rakan antarabangsa dari negara seperti Amerika Syarikat, Jepun dan Perancis.

Itu di peringkat pertengahan. Di peringkat hiliran, kita juga sedang laksanakan usaha untuk menarik menggalakkan pelaburan dalam penghasilan produk REE yang bernilai tinggi khususnya magnet kekal berprestasi tinggi (super magnet) supaya lebih banyak nilai ekonomi daripada sumber REE dapat dikekalkan dalam negara.

draft10:50 AM

Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam - Tuan Syed Ibrahim bin Syed Noh

Kerajaan sentiasa melibatkan kerajaan negeri termasuk Terengganu dalam pembangunan industri REE, memandangkan urusan tanah dan sumber mineral benar berada di bawah bidang kuasa negeri. Penglibatan ini dilaksanakan antara lain melalui penentuan kawasan keutamaan bagi kerja-kerja penilaian sumber, kita nilaikan sumber. Itu melalui kerjasama dengan kerajaan negeri.

Pelaksanaan projek eksplorasi, perkongsian data dan maklumat teknikal serta penyelarasan perancangan dan pelaksanaan projek antara Kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri. Pendekatan ini penting bagi memastikan pembangunan industri REE dilaksanakan secara tersusun, terselaras dengan pembahagian bidang kuasa Persekutuan dan negeri serta mengambil kira kepentingan negeri sebagai pemilik sumber. Terima kasih.

draft11:00 AM

Tuan Haji Hussin bin Ismail

Terima kasih atas pencerahan Yang Berhormat Menteri.

Saya lihat satu data daripada Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) yang malah menyebutkan jangkaannya sebanyak 16.1 juta tan metrik. Maknanya, besar lagi anggaran itu tapi data yang disebut oleh Menteri itu mungkin lebih tepat dan kos dan hasil bahan mentah sahaja itu more than RM809 bilion dan kalau dilihat pada nilai akhirnya nanti, entah makin banyak. REE ini dilihat mungkin sumber kedua selepas petroleum dan Terengganu antara yang juga besar, Yang Berhormat Menteri kan? Saya harap dia tak mengulangi kisah petroleum. Itu remarks sayalah.

Cuma, perkaranya begini, oleh kerana mineral ini merupakan bidang kuasa kerajaan negeri dan tadi, kerjasama Kerajaan Pusat sangat-sangat diambil kira seperti yang disebut dalam Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan. Namun, Kerajaan Pusat telah menetapkan dasar larangan eksport REE sejak tahun 2024 dan cuma ada di situ, perkara yang saya nak tanya sikit.

Dari sudut bila larangan eksport ini sehingga kepada projek untuk pengeluaran hiliran, pertengahan dan hiliran itu berlaku, sebahagian exploration sudah dibuat. Jadi, apakah larangan ini akan menjadi satu ruang menutup potensi hasil ataupun opportunity lost bagi kerajaan-kerajaan negeri yang mempunyai potensi yang dikatakan memiliki deposit ini?

Keduanya, yang terkait yang sama. Saya minta maaf, satu soalan tambahan lagi, Dato Yang di-Pertua. Oleh kerana REE ini merupakan sumber mineral strategik baru negara selepas petroleum, adakah Kerajaan Persekutuan bersedia untuk memberi sokongan kewangan ke, geran khas, insentif kepada kerajaan negeri?

Negeri-negeri yang menjadi pengeluar REE ini untuk membangunkan industri hiliran walaupun tadi Yang Berhormat Menteri dah sebut sepintas, industri hiliran REE ini termasuk kemudahan memproses, penyelidikan, pembangunan R&D supaya negeri-negeri pengeluar bukan sekadar menjadi pembekal bahan mentah tetapi menikmati nilai tambah pulangan ekonomi yang lebih tinggi melalui rantaian industri REE.

Saya difahamkan negeri-negeri, Terengganu misalnya, sudah juga membuat beberapa perundingan dengan negara yang mempunyai pasaran utama seperti US, China dan lain-lain tetapi saya melihat keutamaan untuk menjaga kepentingan REE dari sudut negara, semuanya diambil perhatian yang sangat utama. Namun, harap supaya kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan ada imbangan yang langsung. Ini mungkin anugerah kedua selepas petroleum bagi membolehkan ruang terutama negeri-negeri yang hari ini menjadi negeri masih...

draft11:00 AM

Tuan Yang di-Pertua

Soalannya?

draft11:00 AM

Tuan Haji Hussin bin Ismail

Soalannya?

draft11:00 AM

[Dewan ketawa]

Tuan Haji Hussin bin Ismail

Dia ada latar belakang usul.

Soalan saya nak sebut itu ialah peranan negeri dalam menggerakkan industri hiliran dan apa dukungan pusat? Terima kasih.

draft11:00 AM

Tuan Syed Ibrahim bin Syed Noh

Terima kasih Yang Berhormat, terima kasih Dato Yang di-Pertua. Memang cukup berminat dengan industri ini, saya faham sebab sebenarnya sepertimana tadi Yang Berhormat telah sebut, industri ini merupakan sumber kedua selepas petroleum. Sebenarnya, ia akan menjadi industri yang pertama pada masa akan datang. Jadi, sebab itu ia menjadi satu yang sangat strategik dan penting.

Justeru, ada banyak soalan yang saya nampak tadi, saya lihat, tetapi secara umumnya, saya nak sebutkan bahawa sebenarnya pertama, dari segi jumlah yang disebut tadi oleh Yang Berhormat, 16.1 juta tan metrik itu adalah sumber teragak untuk seluruh negaralah. Jadi, jumlah itu seluruh negara dan ia sumber teragak.

Sumber teragak ini bermakna dia bukan hanya dalam hutan biasa tetapi dalam hutan simpan kekal, yang mana kita tidak benarkan untuk melakukan apa-apa penerokaan dalam hutan simpan kekal. Sebab itu saya sebut tadi, berkenaan dengan sumber yang kita sebut adalah sumber terukur, yang itu adalah sebenarnya di luar daripada hutan simpan kekal.

Jadi, jumlah kalau di Terengganu tadi, 48,800 tan metrik. Itu jumlah yang khusus untuk Terengganu. Berkaitan dengan kerjasama pusat dengan negeri. Yang ini, saya sekali lagi nak beri jaminan, maknanya memang kita memerlukan kerjasama yang rapat kerana sekali lagi, itu di bawah bidang kuasa negeri. Maknanya, dari segi sumber asli, mineral, itu semua di bawah bidang kuasa negeri tetapi kita perlukan kerjasama yang rapat sebab itu dari segi kerjasama ini, saya nak jawab secara tuntas ini kepada Yang Berhormat supaya jelas. Dari segi penglibatan isu nadir bumi dengan kerajaan negeri, kita ada beberapa peringkat.

Peringkat Persekutuan, kita ada Majlis Tanah Negara yang dipengerusikan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri sendiri. Kemudian, kita ada Majlis Mineral Negara yang dipengerusikan oleh Yang Amat Berhormat Timbalan Perdana Menteri II dan kita ada special taskforce yang saya sebutkan tadi, Special Taskforce Hala Tuju Pembangunan Industri Unsur Nadir Bumi (REE).

Di peringkat negeri, ada Jawatankuasa Sumber Mineral Peringkat Negeri yang dipengerusikan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar yang dalamnya adalah wakil daripada JMG. Begitu juga ada Jawatankuasa Penyelarasan Pembangunan Industri Mineral dan kerjasama penyelarasan pengeluaran lantanum bersama PTG dan UPEN negeri.

So, ada banyak peringkat sebenarnya yang melibatkan perbincangan di antara Kerajaan Persekutuan dan juga kerajaan negeri. Berkaitan dengan larangan eksport itu yang ditimbulkan tadi oleh Yang Berhormat. Benar, kalau misalnya larangan ini berkekalan dalam tempoh masa yang tidak menentu, dia bakal menutup peluang-peluang potensi yang ada daripada bahan mentah yang sangat strategik ini. Justeru, berkenaan dengan perkara ini, pengkajian sedang dilakukan untuk kita pastikan supaya bila pun kita mengangkat larangan ini, ia mengambil kira beberapa aspek penting.

Pertama ialah berkenaan dengan kajian impak perlombongan unsur nadir bumi di kawasan hutan simpan kekal oleh FRIM. Maknanya, kalaupun misal kita ada bahan mentah yang banyak dan kemudian ada tuntutan dari segi negeri untuk mengangkat larangan eksport tersebut, bermakna kita kena pastikan supaya asas-asas saintifik teknikal ini telah diambil kira.

Oleh kerana itu dalam hal ini, perkara ini dibuat kajian oleh pihak FRIM untuk melihat aktiviti perlombongan di hutan simpan kekal, kawasan sensitif alam sekitar dan juga di rizab perlindungan.

Kajian ini dilaksanakan secara berfasa untuk tempoh lima tahun bermula 2024 hingga tahun 2029. Saya tahu macam lama lagi sebab itu kita hendak supaya perkara ini dapat disegerakan juga. Pihak Jawatankuasa STF sedang menilai dan meneliti perkara ini dengan lebih mendalam.

Selain itu, kita juga faham bahawa sebenarnya kita tak ada boleh membenarkan bahan mentah ini dibawa keluar begitu sahaja. Sebagaimana yang disebutkan oleh Yang Berhormat tadi, kita juga nak pastikan ada industri pertengahan dan hiliran kerana di peringkat hiliran inilah nilainya yang paling tinggi sekali. Pengeluaran produk-produk seperti supermagnet dan lain- lain. Yang ini yang paling tinggi sangat tapi kalau kita dah keluarkan bahan mentah, semuanya dikeluarkan kepada negara-negara lain seperti China, bermakna kita tidak ada hasil lagi ekonomi. Hasil kita hanyalah daripada pengeluaran bahan mentah ini, yang mana kita mungkin dapat royalti, fi premium dan sebagainya.

Yang itu sebenarnya pada masa depan, mungkin 10 ke 20 tahun, saya rasa satu kerugian yang amat besar kepada negara. Justeru, perkara ini sedang dinilai dengan teliti oleh pihak Kerajaan Persekutuan bersama-sama dengan kerajaan negeri untuk melihat sekiranya ada ruang untuk mengangkat larangan eksport ini tanpa mengetepikan aspek-aspek kelestarian alam dan juga dari segi technology transfer— pemindahan teknologi. Isu kita, cabaran kita sebenarnya adalah pemindahan teknologi. Kita tidak ada satu pemindahan teknologi yang berlaku dengan baik di mana kita sendiri di peringkat negara boleh melaksanakan pemprosesan REE.

draft11:00 AM

Tuan Syed Ibrahim bin Syed Noh

Justeru, mesti ada satu tindakan yang lebih tuntas yang dilakukan untuk perkara- perkara ini.

Dan akhir sekali tadi, menjaga kepentingan daripada sudut negara. Suka saya nak tambah sikit supaya ada keyakinan di peringkat kerajaan negeri. Bukan hanya di Terengganu tetapi di negeri-negeri yang ada sumber REE yang agak tinggi. Kerajaan negeri insya-Allah, boleh menikmati melalui beberapa manfaat, tapi tidak melalui satu geran khas buat waktu ini.

Yang ada ialah:

(i) hasil royalti yang dapat diperolehi oleh kerajaan negeri, premium fi ataupun hasil yang berkaitan mineral mengikut undang-undang negeri;

(ii) adalah peluang pelaburan industri pemprosesan dan hiliran;

(iii) adalah perwujudan pekerjaan yang berkemahiran tinggi; dan

(iv) ialah pembangunan vendor tempatan dan perusahaan sokongan.

Betul, selagi kita tak selesai lagi masalah larangan eksport ini, perkara ini tidak dapat berlaku dengan meluas. So, insya-Allah, kita segerakan dan kita ada hubungan baik dengan kerajaan negeri untuk kita lihat apa yang berlaku pada dahulu— royalti petroleum, PETRONAS dan sebagainya itu tidak berulang, tapi pada masa yang sama, menjamin keseluruhannya Yang Berhormat ialah ekonomi negara. Bukan sahaja kepada negeri tetapi kepada negara yang boleh memberikan manfaat dan kebaikan ekonomi buat rakyat dan seluruh negara. Terima kasih.

draft11:10 AM

Tuan Haji Baharuddin bin Ahmad

Soalan tambahan.

draft11:10 AM

Tuan Yang di-Pertua

Kita bagi Senator dulu. [Berucap tanpa menggunakan pembesar suara]

draft11:10 AM

Dato' Sri Vell Paari a/l Tun Samy Vellu

Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Selamat Hari Sarawak.

Yang Berhormat, apakah jaminan bahawa aktiviti perlombongan REE ini tidak akan mencemarkan sumber air? Dan sekiranya terdapat penemuan REE di kawasan yang didiami oleh masyarakat orang asli, apakah jaminan kerajaan bahawa pembangunan tersebut tidak akan menyebabkan mereka kehilangan tanah? Terima kasih.

draft11:10 AM

Tuan Syed Ibrahim bin Syed Noh

Terima kasih Yang Berhormat, terima kasih Dato Yang di-Pertua. Ini penting. Saya suka mendengar— ada juga soalan yang terkait dengan isu jaminan berkenaan dengan pencemaran. Jadi, kita dah pernah sebelum ini apa yang berlaku insiden di Ranau, di Bukit Merah. Jadi, perkara-perkara macam ini memang menjadi satu masalah dan insiden buruk kerana ia nya, mangsanya adalah kepada rakyat.

Sebab itu dari segi aspek kelestarian ini, kita tidak boleh kompromi. Benar, kita nak menjarah bumi kita kerana ada sumber ekonomi yang besar, tetapi kepada masa yang sama, kita tidak boleh mencemarkan alam, di samping kita kena menjaga kesihatan awam. Sebab itu dari segi beberapa perkara yang kita boleh beri jaminan ialah:

(i) semua undang-undang alam sekitar mesti dipatuhi;

(ii) mesti ada penilaian EIA yang diwajibkan; dan

(iii) mesti ada amalan perlombongan yang mampan.

Sebab itu bila ada berlakunya contoh perlombongan ataupun penyeludupan haram, perkara ini memerlukan kerjasama erat di antara semua. Sama ada Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri, polis, renjer komuniti kita dan sebagainya.

Sebab— bila berlaku penyeludupan haram, kita dah tentu tahu bahawa tak ada satu pematuhan yang benar, yang baik dari segi EIA ya, dari segi perlombongan dan dia boleh menyebabkan impak dia adalah kesan dia ialah kepada pencemaran dan insya-Allah, kita juga mesti membuat pemantauan secara berterusan oleh agensi-agensi berkaitan.

Malah, saya harap supaya perkara ini kita bukan hanya pantau di peringkat awal sahaja. Sebab itu pemantauan EIA, pemantauan oleh JMG, dia mesti berlaku secara berterusan bukan pada awal perlombongan, tapi sebenarnya semasa dan juga selepas pengeluaran kerana dia nya boleh berlaku pada peringkat-peringkat yang berbeza.

Insya-Allah, saya beri jaminan kepada Yang Berhormat, supaya perkara ini menjadi perkara utama juga kepada pihak kementerian dan juga pihak Kerajaan Persekutuan. Terima kasih.

draft11:10 AM

Tuan Yang di-Pertua

Ya, soalan tambahan terakhir Senator Tuan Haji Baharuddin.

draft11:10 AM

Tuan Haji Baharuddin bin Ahmad

Terima kasih Dato’ Yang di-Pertua. Sebenarnya soalan saya sama dengan YB. Dato' Vell Paari tadi.

draft11:10 AM

Dato' Sri Vell Paari a/l Tun Samy Vellu

Okey.

draft11:10 AM

Tuan Haji Baharuddin bin Ahmad

Terima kasih lah kerana tolong soal untuk saya.

Baik, tidak ada soalan.

draft11:10 AM

Tuan Yang di-Pertua

YB. Vell Paari tak ada unsur bumi ya? Okey. Yang Berhormat Senator Puan Tiew Way Keng.

draft11:10 AM

Puan Tiew Way Keng

Terima kasih Dato’ Yang di-Pertua.

Lima jari tanda muafakat, Burung Kenyalang terbang melayang; Hari Sarawak menyatu rakyat, SUKMA berhemat Selangor gemilang. Selamat Menyambut Hari Sarawak saya ucapkan kepada Dato’ Yang di-Pertua dan juga Timbalan Menteri yang juga daripada Kuching, Sarawak dan semua rakan-rakan.

draft11:10 AM

Tuan Yang di-Pertua

Bukan. Bau, Sarawak.

draft11:10 AM

Puan Tiew Way Keng

Soalan.

draft11:10 AM

Tuan Yang di-Pertua

Dia dari Bau, bukan Kuching.

draft11:10 AM

Puan Tiew Way Keng

Bau, Sarawak.

[Ketawa] Jadi, soalan saya yang ke-5. Terima kasih.

draft11:10 AM

5. Puan Tiew Way Keng minta Menteri Belia dan Sukan menyatakan, apakah status terkini koordinasi antara Kerajaan Persekutuan bersama Jawatankuasa Tertinggi SUKMA dan Exco Sukan Selangor berhubung penganjuran SUKMA 2026, memandangkan komitmen Kerajaan Negeri Selangor untuk meneruskan kejohanan tersebut ialah melalui strategi penjimatan kos operasi sehingga 50 peratus dengan memanfaatkan infrastruktur digital serta fasiliti sedia ada.

draft11:10 AM

Timbalan Menteri Belia dan Sukan - Tuan Mordi anak Bimol

Okey, terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Selamat pagi, salam sejahtera, salam perpaduan.

Tuan Yang di-Pertua, sebelum saya jawab soalan Yang Berhormat Senator Puan Tiew Way Keng, izinkan saya kongsikan serangkap pantun.

Kenyalang terbang tinggi di awan, Membelah langit meredah cabaran; Sarawak ku sayang legasi perpaduan, Teguh bersatu menjadi kebanggaan. Di kesempatan ini, saya nak ucapkan Selamat Hari Sarawak pada Yang Berhormat- Yang Berhormat Senator yang berasal ataupun anak jati Sarawak, termasuk Dato Speaker sendiri ya dan seluruh anak jati Bumi Kenyalang. Semoga Sarawak kekal aman, terus maju dan makmur ya.

Tuan Yang di-Pertua, untuk menjawab soalan yang YB. Senator. Untuk makluman Yang Berhormat Senator, koordinasi antara Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Sukan Negara (MSN), Jawatankuasa Tertinggi SUKMA dan Kerajaan Negeri Selangor sentiasa dilaksanakan bagi memastikan penganjuran Temasya SUKMA Selangor 2026 berjalan lancar. Susulan perkenan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Selangor pada 29 April 2026, Mesyuarat Khas Jawatankuasa Tertinggi SUKMA telah diadakan pada 30 April 2026.

Mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh Yang Berhormat Menteri Belia dan Sukan sendiri serta dianggotai oleh wakil KBS, MSN, Institusi Sukan Negara (ISN), Kerajaan Negeri Selangor dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) bagi membincangkan serta menyelaras perkara- perkara dasar untuk memastikan penganjuran Temasya SUKMA Selangor 2026 dapat dilaksanakan dengan lancar, teratur dan berhemah.

Mesyuarat tersebut telah memutuskan supaya penganjuran Temasya SUKMA Selangor 2026 dilaksanakan secara berhemah melalui strategi penjimatan kos operasi. Sehingga kini, Sekretariat SUKMA Selangor 2026 telah mengurangkan kos penganjuran SUKMA edisi kali ini sebanyak 67 peratus berbanding kos asal.

Jadi, langkah penjimatan yang dikenal pasti bagi penganjuran Temasya SUKMA Selangor 2026 meliputi aspek teknikal dan pertandingan; kemudahan dan persiapan tempat; kesihatan dan kecemasan; sukarelawan dan petugas jawatankuasa; majlis rasmi, pengangkutan, promosi dan media serta penyertaan kontinjen Brunei Darussalam.

Langkah penjimatan ini dapat mengurangkan beban kewangan kerajaan negeri selaku tuan rumah penganjuran dan sekali gus memastikan penggunaan sumber secara lebih cekap tanpa menjejaskan kelancaran pengurusan penganjuran temasya tersebut.

Jadi, KBS melalui MSN akan terus memperkukuhkan kerjasama strategik dengan Kerajaan Negeri Selangor bagi memastikan setiap aspek penganjuran Temasya SUKMA Selangor 2026 akan dapat dilaksanakan dengan teratur, berhemah dan menepati piawaian temasya sukan kebangsaan dan sekali gus menjadi penanda aras baharu bagi penganjuran sukan yang cekap dan amanah. Sekian, terima kasih.

draft11:10 AM

Tuan Larry anak Asap

Soalan tambahan.

draft11:10 AM

Puan Tiew Way Keng

Soalan tambahan.

draft11:10 AM

Tuan Yang di-Pertua

[Berucap tanpa menggunakan pembesar suara]

draft11:10 AM

Tuan Larry anak Asap

Okey.

draft11:10 AM

Puan Tiew Way Keng

Apakah jaminan kementerian bahawa sasaran penjimatan kos yang tadi telah dijawab oleh Timbalan Menteri iaitu 67 peratus tidak akan menjejaskan keselamatan, kebajikan atlet dan mutu penganjuran?

Apakah manfaat langsung yang akan diterima oleh warga dari negeri Selangor, peniaga, belia dan komuniti daripada penganjuran SUKMA 2026 ini dengan kementerian bersedia menetapkan petunjuk prestasi yang telus, termasuk jumlah perbelanjaan penggunaan fasiliti sedia ada, penyertaan vendor tempatan dan pelan penggunaan venue selepas SUKMA, supaya kemudahan yang dinaik taraf terus dimanfaatkan oleh sekolah, persatuan sukan dan masyarakat Selangor selepas kejohanan berakhir?

draft11:10 AM

Tuan Mordi anak Bimol

Terima kasih Yang Berhormat Senator. Tuan Yang di-Pertua, kementerian melalui Majlis Sukan Negara (MSN) sentiasa memastikan bahawa langkah rasionalisasi kos penganjuran Temasya Sukan Malaysia SUKMA Selangor 2026 tidak akan menjejaskan aspek yang pertama, adalah keselamatan; yang kedua adalah kebajikan atlet; dan yang ketiga, mutu penganjuran temasya tersebut.

Jadi, pendekatan penjimatan yang dilaksanakan adalah berasaskan prinsip pengoptimuman sumber melalui penggunaan fasiliti sedia ada. Jadi, pengurangan kos operasi serta penyelarasan skop penganjuran tanpa mengurangkan standard teknikal dan keperluan asas temasya.

Jadi, bagi penganjuran bagi kali ini, kemudahan sedia ada hanya dinaik taraf ya bagi memastikan acara sukan dapat dipertandingkan mengikut piawaian yang ditetapkan. Sekali gus, membolehkan kemudahan sukan tersebut boleh dipakai untuk beberapa tahun akan datang serta boleh dimanfaatkan oleh masyarakat setempat selepas temasya sukan tersebut.

draft11:10 AM

Tuan Mordi anak Bimol

Perkara ini turut dipersetujui dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi SUKMA pada 15 Julai 2026 baru-baru ini yang telah memutuskan supaya penganjuran temasya SUKMA Selangor 2026 dilaksanakan dengan memberikan keutamaan kepada aspek teknikal pertandingan, keselamatan, kebajikan atlet serta kesihatan bagi memastikan temasya dapat berlangsung dengan lancar dan teratur.

Bagi penganjuran temasya SUKMA kali ini, Sekretariat SUKMA Selangor hanya menyediakan subsidi harian kepada 12,000 atlet serta pegawai dan setiap kontinjen bertanggungjawab untuk menguruskan penginapan, makan dan pengangkutan masing- masing.

Jadi, melalui pendekatan ini, sebanyak 640 lokasi penginapan kontinjen akan digunakan, sekali gus membuka peluang kepada pengusaha hotel, homestay dan peniaga tempatan untuk turut menerima manfaat ekonomi daripada penganjuran temasya tersebut. Ya, ini tidak termasuk dengan kehadiran ahli-ahli keluarga serta pasukan penyokong dan kontinjen masing-masing.

Jadi, bagi pelaporan berkaitan penganjuran Temasya SUKMA pula, ia nya adalah menjadi kewajipan supaya tuan rumah penganjur melaporkan laporan perbelanjaan dan operasi penganjuran akan dibentangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi SUKMA, sejurus selepas temasya berakhir. Sekian, terima kasih.

draft11:20 AM

Datuk Anna Bell @ Suzieana binti Perian

Soalan tambahan.

draft11:20 AM

Tuan Yang di-Pertua

Datuk Dr. Haji Mustafa.

draft11:20 AM

Datuk Dr. Haji Mustafa bin Musa

Baik, terima kasih Dato Yang di-Pertua.

draft11:20 AM

Tuan Yang di-Pertua

Kemudian Tuan Larry, tambahan terakhir ya.

draft11:20 AM

Datuk Dr. Haji Mustafa bin Musa

Terima kasih Dato Yang di-Pertua. Untuk SUKMA Selangor ini, saya pun akan terlibat jugalah sebagai Pengurus Pasukan Sepak Takraw SUKMA Melaka. Dalam mesyuarat yang telah diputuskan Yang Berhormat Menteri, tiada penginapan untuk semua atlet dan pegawai-pegawai.

Maksudnya, tanggungjawab negeri tetapi tunjang kepada temasya ini adalah kesatuan dan perpaduan atlet dalam sukan. Tidakkah tiada perkampungan sukan ini akan menjejaskan dan mencacatkan sedikit matlamat asal untuk membentuk rantaian perpaduan dan kebersamaan di kalangan anak-anak muda bawah umur 21 tahun yang bakal menerajui negara kita pada masa depan? Terima kasih Dato Yang di-Pertua.

draft11:20 AM

Tuan Mordi anak Bimol

Okey, seperti yang sedia maklum, perkampungan sukan itu adalah salah satu langkah penjimatan. Jadi, tidak akan timbul isu tidak ada perpaduan di kalangan atlet-atlet kita sebab akhirnya, mereka tetap akan bersatu di gelanggang. Itu tujuan utamanya untuk temasya sukan kali ini. Dan SUKMA, tujuannya adalah untuk membangunkan atau mengangkat bakat-bakat baru di kalangan anak-anak muda. Jadi, isu tiada perpaduan tidak akan wujud ya. Terima kasih.

draft11:20 AM

Tuan Larry anak Asap

Soalan tambahan saya kepada Menteri. Apakah bentuk bantuan atau komitmen Kerajaan Persekutuan kepada Kerajaan Negeri Selangor bagi memastikan penganjuran SUKMA 2026 berjalan dengan lancar? Terima kasih.

draft11:20 AM

Tuan Mordi anak Bimol

Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Menyentuh tentang bantuan atau pun— bantuan kepada Kerajaan Negeri Selangor bagi memastikan penganjuran SUKMA 2026 berjalan lancar. Untuk makluman Yang Berhormat Senator, sebagai komitmen, Kerajaan Persekutuan dalam menjayakan penganjuran Temasya SUKMA Selangor 2026, KBS ataupun Kementerian Belia dan Sukan telah menyediakan kemudahan sukan milik Majlis Sukan Negara (MSN) seperti penggunaan Velodrom Nasional, Nilai dengan kadar sewaan khas, ya. Kita bagi nilai sewaan khas untuk penggunaan velodrom tersebut serta penyediaan Kompleks Belia dan Sukan Selangor sendiri sebagai venue pertandingan bagi sukan futsal dan para memanah dan para badminton bagi Temasya Para SUKMA.

Di samping itu juga, kementerian turut menyalurkan bantuan berjumlah RM1 juta bagi keperluan kepegawaian teknikal temasya dan menyediakan peruntukan sebanyak RM350,000 kepada 54 ketua delegates teknikal yang mewakili setiap jenis sukan yang dipertandingkan di temasya tersebut. Ketua delegates teknikal merupakan pegawai yang dilantik oleh Persatuan Sukan Kebangsaan bagi menyokong persediaan dan kelancaran penganjuran temasya.

Di samping itu juga, KBS turut memperuntukkan RM100,000 bagi pelaksanaan proses klasifikasi atlet para SUKMA dan RM300,000 bagi pelaksanaan program-program kawalan doping yang dikendalikan oleh Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS) Kementerian Belia dan Sukan. Jadi, secara anggaran, jumlah keseluruhannya adalah lebih kurang RM1.75 juta daripada pihak Kerajaan Persekutuan. Sekian, terima kasih.

draft11:20 AM

Tuan Yang di-Pertua

Yang Berhormat Senator Datuk Bobbey Ah Fang bin Suan dan untuk makluman Yang Berhormat Senator, isteri Menteri yang akan menjawab juga dari Sarawak, Menteri Kerja Raya. Hi, Yang Berhormat. Ya.

draft11:20 AM

Datuk Bobbey Ah Fang bin Suan

Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Selamat Hari Sarawak kepada Tuan Yang di-Pertua dan juga rakan-rakan dari Sarawak. Soalan saya nombor 6.

draft11:20 AM

6. Datuk Bobbey Ah Fang bin Suan minta Menteri Kerja Raya menyatakan, apakah kemajuan fizikal terkini serta jangka masa siap bagi pelaksanaan Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1A.

draft11:20 AM

Timbalan Menteri Kerja Raya - Datuk Seri Dr. Haji Ahmad bin Haji Maslan

Dato Yang di-Pertua, terima kasih kepada Yang Berhormat Senator Datuk Bobbey Suan. Memang betul, isteri saya dari Kuching Sarawak.

draft11:20 AM

Tuan Yang di-Pertua

Saya nak sahkan saja. Itu saja.

draft11:20 AM

Datuk Seri Dr. Haji Ahmad bin Haji Maslan

Sah. Dato Yang di-Pertua, Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah dilaksanakan merentasi jajaran sepanjang 706 kilometer yang dipecahkan kepada 35 pakej kerja. Pelantikan kontraktor bagi kesemua pakej kerja tersebut telah pun dimuktamadkan oleh Kementerian Kewangan bagi memulakan kerja-kerja pembinaan di tapak LPB. Lebuhraya Pan Borneo Fasa 1 dilaksanakan secara berperingkat melalui Fasa 1A yang merangkumi 16 pakej kerja dan Fasa 1B yang melibatkan 19 pakej kerja.

Setakat ini, kemajuan fizikal Projek LPB Sabah telah mencapai 87.86 peratus dan empat pakej kerja di bawah Fasa 1A telah siap dan kini memberi manfaat kepada pengguna jalan raya. Fasa 1A dijangka siap sepenuhnya pada pertengahan tahun 2028. Pada hujung tahun ini, dijangka sembilan lagi pakej akan siap daripada 1A.

Komitmen kementerian adalah untuk memastikan baki jajaran disiapkan secara berperingkat dengan sasaran penyelesaian menyeluruh bagi kedua-dua Fasa 1A, 1B pada suku keempat tahun 2030. Mengambil kira tempoh perlanjutan masa yang telah diluluskan serta lantikan kontraktor terakhir bagi pakej 35 di bawah Projek LPB Sabah.

Pelaksanaan Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah sememangnya dipandu oleh garis masa dan jadual kerja terperinci yang telah ditetapkan. Kementerian Kerja Raya melalui JKR Sabah sentiasa melaksanakan langkah intervensi yang proaktif, termasuk penguatkuasaan pelan pemulihan (recovery plan) bagi sebarang pakej kerja yang didapati lewat serta menerusi pemantauan mingguan secara on-site bagi memastikan sasaran penyiapan tetap berada dalam landasan yang betul. Setakat ini untuk Fasa 1A, dua projek lewat jadual, tiga projek ikut jadual, dua projek dahulu jadual. Fasa 1B, tiga lewat jadual, tiga ikut jadual, 11 projek mendahului jadual. Terima kasih.

draft11:20 AM

Datuk Bobbey Ah Fang bin Suan

Terima kasih kepada Timbalan Menteri Datuk Seri di atas jawapan yang begitu jelas dan terperinci. Namun, saya memikirkan pelaksanaan Projek Pan Borneo ini pada masa yang akan datang setelah siap fasa-fasa yang ada sekarang.

Setelah pembinaan Fasa 1 iaitu Fasa 1A dan 1B Projek Lebuhraya Pan Borneo siap dilaksanakan, adakah kerajaan bercadang memberi keutamaan kepada pelaksanaan bagi jajaran jalan menghubungkan kawasan Tawau–Kalabakan–Keningau–Kimanis dalam fasa berikutnya bagi melengkapkan rangkaian lebuh raya serta meningkatkan kesalingsambungan hubungan di kawasan pedalaman— di pedalaman dan juga di selatan Sabah?

Memandangkan juga jajaran jalan ini adalah berhampiran dengan negara jiran iaitu Indonesia, Kalimantan. Jadi, saya rasa ini adalah jajaran yang amat penting perlu dilaksanakan selepas ini. Sekian, terima kasih.

draft11:20 AM

Datuk Seri Dr. Haji Ahmad bin Haji Maslan

Dato Yang di-Pertua, sebelum ini kita membuat pengumuman bahawa Pan Borneo Sabah ini ada tiga fasa. Fasa pertama, Fasa 1 yang dipecah 35 pakej kerja, 35 kontraktor, Fasa 1A dan Fasa 1B. Daripada Sindumin–Kota Kinabalu pergi ke Kudat. Kemudian di Ranau, mile 32, Sandakan dan Tawau. Itu Fasa 1A.

Fasa 2 yang telah diumum ialah Tamparuli–Ranau, 98 kilometer. Fasa 3 Tawau–Kalabakan– Nabawan–Keningau–Kimanis, 432 kilometer.

draft11:20 AM

Datuk Seri Dr. Haji Ahmad bin Haji Maslan

Apa pun, komitmen kita ialah untuk menyiapkan Fasa 1 terlebih dahulu, 706 kilometer yang dijangka akan siap pada tahun sehingga 2030. Untuk Fasa 2 dan 3, masih belum dapat kelulusan peruntukan, Dato Yang di-Pertua, sebab kita nak siapkan Fasa 1 dahulu. Kemudian, pelaksanaan Fasa 2, Fasa 3 ini akan dipertimbang secara berperingkat, tertakluk kepada status kewangan kerajaan. Walau bagaimanapun, kita tahu bahawa projek LPB Sabah ini tanpa tol dan ia telah dimulakan dalam era sebelum ini lagi sebagai pemacu pembangunan sosioekonomi, perindustrian serta pelaburan di Sabah. Terima kasih.

draft11:30 AM

Datuk Edward Linggu Bukut

Dato Yang di-Pertua, soalan tambahan.

draft11:30 AM

Tuan Yang di-Pertua

Tambahan?

draft11:30 AM

Datuk Edward Linggu Bukut

Ya.

draft11:30 AM

Tuan Yang di-Pertua

Terakhirlah ya, Yang Berhormat.

draft11:30 AM

Datuk Edward Linggu Bukut

Terima kasih Dato Speaker dan terima kasih Yang Berhormat Menteri atas pencerahan kepada Pan Borneo di negeri Sabah. Harap-harap boleh siap lah seberapa cepat yang diharapkan.

Dato Yang di-Pertua, saya ingin bertanya kepada Menteri. Untuk maksud keselamatan jalan raya yang sudah siap ini, adakah cadangan dalam masa terdekat― tolonglah bah, pasang lampu jalan raya. Sekurang-kurangnya pakai solar kah, kalau mahal itu elektrik, untuk memudahkan pengguna-pengguna. Sebab, saya nampak— khususnya di jalan Kota Kinabalu ke Papar, oh macam kapal terbang dia orang memandu ini. Banyak selekoh. So, mungkin mendatangkan bahaya. Satu.

Kedua, Yang Berhormat Menteri, tolong juga pasang signboard. Sekarang ini tiada signboard. Tiada dia punya tanda-tanda arah hala tuju dan sebagainya. So, agak menyusahkan para pengguna.

Dan akhir sekali, Yang Berhormat Menteri, ada cakap tadi ada yang jadual sudah siap, ada yang belum siap. Kalau Menteri ada data, bila bah kami punya Tuaran sampai ke Kota Kinabalu itu siap? Terima kasih.

draft11:30 AM

Datuk Seri Dr. Haji Ahmad bin Haji Maslan

Terima kasih Yang Berhormat Senator Datuk Edward. Pertama, soalan mengenai lampu solar dan juga soalan mengenai signboard.

Tentunya di kawasan-kawasan yang siap itu tanggungjawabnya untuk melampukan dan mencahayakan kawasan simpang dan juga kawasan blackspot yang berlaku kemalangan.

Rakan saya Ahli Parlimen Kimanis juga mengingatkan― saya baru saja berbisik― memang ada kejadian kemalangan. Tetapi, komitmen kita tidak menyediakan pencahayaan keseluruhan lebuh raya itu. Serupa juga lebuh raya yang sudah siap di Pan Borneo di Sarawak, juga tidak sepenuhnya bercahaya ya. Hanya di tempat-tempat persimpangan dan juga kawasan blackspot.

Untuk mencahayakan dengan lampu solar, tentulah ada kos yang tertentu. Semuanya tertakluk kepada kewangan. Kalau kewangan mencukupi, segala-galanya boleh, tetapi untuk sementara ini, jalan empat lorong, dua kiri, dua kanan itu perlulah berhati-hati.

Bahawa kadar kemalangan ini sebenarnya bukan keadaan jalan yang menyebabkan kemalangan berlaku secara menyeluruh. Kadar kemalangan ini 80 peratus lebih disebabkan oleh kecuaian manusia, 13 peratus keadaan jalan― pencahayaan, lubang atau tidak berlubang dan tujuh peratus keadaan kenderaan. Jadi, untuk sementara, kita bercahaya segalanya itu, pandulah dengan cermat ya dan juga pastikan kenderaan kita berada dalam keadaan yang baik.

Mengenai soalan spesifik yang disebut, saya ada senarainya semua di sini lengkap.

Nanti kita bagilah untuk stretch yang disebut oleh Yang Berhormat, bilakah akan siap. Kita ada mesyuarat tiap-tiap bulan, Dato Yang di-Pertua. Sebelum ini tidak ada, sekarang dah ada.

Yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya dan juga pengerusi bersama Setiausaha Tetap Kementerian Kerja Raya di Sabah tiap-tiap bulan untuk memastikan― mesyuarat yang terakhir adalah semalam, Dato Yang di-Pertua dan segala perkara-perkara yang ditimbulkan ini kita akan ambil perhatian berat. Terima kasih.

draft11:30 AM

Tuan Yang di-Pertua

Yang Berhormat, selepas ini, sebab kita nak sebanyak soalan dijawab, kita hadkan soalan tambahan kepada penyoal asal sahaja. Sekarang dipersilakan Yang Berhormat Senator Puan Horhasmimi.

draft11:30 AM

Puan Hajah Norhasmimi binti Abdul Ghani

Terima kasih, Dato Yang di-Pertua.

Soalan saya soalan nombor 7.

draft11:30 AM

7. Puan Norhasmimi binti Abdul Ghani minta Menteri Pengangkutan menyatakan, selain pengangkutan penumpang, sejauh manakah penggunaan East-Coast Rail Link (ECRL) bagi pergerakan kargo dapat membantu mengurangkan jumlah kenderaan berat di lebuh raya, sekali gus meningkatkan keselamatan dan kelancaran aliran trafik.

draft11:30 AM

Timbalan Menteri Pengangkutan - Datuk Haji Hasbi bin Haji Habibollah

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Tuan Yang di- Pertua, saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan Hari Sarawak kepada YB-YB Senator, termasuk Yang di-Pertua sendiri. Selamat menyambut Hari Sarawak pada hari ini.

Tuan Yang di-Pertua, untuk makluman Ahli Yang Berhormat, selain daripada perkhidmatan penumpang, East-Coast Rail Link (ECRL) turut dirancang sebagai infrastruktur pengangkutan kargo yang penting bagi menghubungkan Pantai Timur dengan Lembah Klang serta Pelabuhan Klang. Perkhidmatan kargo ECRL dijangka dapat menyediakan alternatif kepada pengangkutan barangan menggunakan kenderaan berat di jalan raya, khususnya bagi laluan antara negeri-negeri Pantai Timur seperti Kelantan, Terengganu dan Pahang ke kawasan perindustrian, hab logistik dan pelabuhan di Pantai Barat selaras dengan hasrat kerajaan dalam inisiatif ‘Daripada Jalan Raya kepada Rel’, ‘Road to Rail’ initiative ya.

Melalui peralihan sebahagian pergerakan kargo daripada jalan raya kepada rel atau road to rail ini, perkhidmatan ECRL berpotensi membantu mengurangkan kebergantungan kepada kenderaan berat seperti lori di lebuh raya utama, termasuk laluan yang menghubungkan Pantai Timur dan Lembah Klang. Perkara ini secara tidak langsung boleh menyumbang kepada pengurangan kesesakan, risiko kemalangan melibatkan kenderaan berat, kerosakan jalan serta meningkatkan kelancaran aliran trafik, khususnya di laluan berkepadatan tinggi.

Walau bagaimanapun, tahap sebenar pengurangan kenderaan berat di lebuh raya akan bergantung kepada beberapa faktor termasuk kadar penggunaan perkhidmatan kargo ECRL itu nanti oleh pemain industri, integrasi dengan pelabuhan dan hab logistik, struktur tarif yang kompetitif serta kesediaan rangkaian sambungan penghantaran batuan pertama dan terakhir ataupun first mile and last mile connectivity.

Kerajaan melalui Kementerian Pengangkutan akan terus menggalakkan penggunaan rel sebagai mod pengangkutan kargo yang lebih cekap, selamat dan mampan. Inisiatif ini adalah selaras dengan hasrat untuk meningkatkan peralihan mod pengangkutan atau transport model shift daripada jalan raya kepada rel di samping menyokong agenda keselamatan jalan raya, kelestarian alam sekitar dan kecekapan rantaian logistik negara.

Saya nak memberikan sedikit bayangan kepada Yang Berhormat. ECRL itu nanti, insya-Allah, dalam satu perjalanan, sebuah tren kargo ECRL yang terdiri daripada sehingga 45 buah gerabak mampu membawa muatan kira-kira 3,150 tan. Dengan mengambil kira kapasiti maksimum sebuah lori sebanyak 40 tan, satu perjalanan tren kargo ECRL berpotensi menggantikan kira-kira 79 buah lori, sekali gus membantu mengurangkan kesesakan jalan raya, pelepasan karbon dan risiko kemalangan melibatkan kenderaan berat. Terima kasih.

draft11:30 AM

Puan Hajah Norhasmimi binti Abdul Ghani

Terima kasih Yang Berhormat Timbalan Menteri. Soalan tambahan saya. Bagaimanakah kerajaan memastikan ECRL benar-benar menjadi pilihan utama pengangkutan kargo bagi industri di Pantai Timur, khususnya melalui Pelabuhan Kuantan supaya manfaat ekonomi dan pengurangan trafik lori berat dapat direalisasikan sepenuhnya. Terima kasih.

draft11:30 AM

Datuk Haji Hasbi bin Haji Habibollah

Terima kasih Yang Berhormat. Sebagaimana yang saya katakan tadi, di sepanjang jajaran ini sudah pastinya akan tumbuhnya hab-hab industri, termasuklah kilang-kilang kereta dan sebagainya yang sudah ada membuat some sort like a MoU lah untuk akan menggunakan. Dan banyak lagi hab-hab industri lain akan tumbuh di sepanjang jajaran, termasuklah Spur yang kita buat untuk yang menuju ke Kuantan Port ya.

Memang ada. Jadi, semua ini adalah untuk memastikan penggunaan ECRL ini sepenuhnya.

draft11:30 AM

Datuk Haji Hasbi bin Haji Habibollah

Dan juga di samping kargo, ia juga membawa passenger. Sebanyak 30 peratus daripada gerabak itu adalah untuk membawa passenger. Dan sudah pastinya, insya-Allah, dengan adanya ECRL ini, sudah pasti akan dapat memacu pertumbuhan ekonomi dan di samping itu, tentang keselamatan jalan raya, sudah pasti.

Jadi, mungkin sedikit tambahan dan untuk kita semua juga lah. Berdasarkan kajian mengenai peralihan mod pengangkutan kargo dan jalan raya ke rel bagi Malaysia, secara umumnya, sebuah tren kargo boleh membawa muatan bersamaan kira-kira 33 hingga 70 buah lori. Kajian yang dilaksanakan menganggarkan sebanyak 24.3 juta tan kargo setahun berpotensi dialih daripada jalan raya kepada rel menjelang 2050.

Jadi, berdasarkan andaian muatan ini, 10 hingga 20 tan bagi setiap lori, jumlah tersebut secara indicative bersamaan dengan pengurangan kira-kira 3,300 hingga 6,700 perjalanan lori bermuatan sehari bagi perjalanan jarak jauh akan dikurangkan. Angka ini merujuk kepada pengurangan perjalanan, bukan bilangan lori fizikal. Kerana lori masih diperlukan juga bagi penghantaran first mile dan last mile juga.

Jadi, itu adalah dalam usaha kita ini untuk menurunkan kesesakan di jalan raya, insya- Allah, boleh juga menurunkan risiko kemalangan untuk kenderaan-kenderaan berat di jalan raya. Terima kasih.

draft11:40 AM

Tuan Yang di-Pertua

Yang Berhormat Dato’ Seri Prof. Dr. Noor Inayah.

draft11:40 AM

Dato’ Seri Prof. Dr. Noor Inayah binti Ya’akub

Terima kasih Dato Yang di-Pertua, YB. Soalan saya nombor 8.

draft11:40 AM

8. Dato' Seri Prof. Dr. Noor Inayah binti Ya'akub minta Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi menyatakan, apakah perancangan strategik kerajaan untuk memperkukuh peranan koperasi sebagai rangkaian pengedaran barangan keperluan asas di seluruh negara memandangkan Program Jualan MADANI Koperasi kini diperluaskan untuk membantu menangani kos sara hidup rakyat.

draft11:40 AM

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi - Datuk Mohamad bin Alamin

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih kepada Yang Berhormat Senator Dato’ Seri Prof. Dr. Noor Inayah binti Ya’akub di atas soalan yang dikemukakan pada pagi ini.

Dato Yang di-Pertua, untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia

(SKM) komited memperkukuh peranan koperasi sebagai rangkaian pengedaran barangan keperluan asas sejajar dengan usaha kerajaan membantu meringankan kos sara hidup rakyat.

Selaras dengan hasrat tersebut, KUSKOP bersama SKM telah melaksanakan 147 Program Jualan MADANI Koperasi dan Program Jualan MADANI KUSKOP di seluruh negara sehingga 30 Jun tahun ini.

Bagi memperluaskan impak inisiatif tersebut, KUSKOP melalui SKM turut memperkukuh rangkaian peruncitan koperasi melalui Coop Mart sebagai platform utama pengedaran barangan keperluan asas rakyat. Sehingga 30 Jun tahun ini, terdapat sebanyak 2,234 outlet Coop Mart yang aktif beroperasi di seluruh negara.

Rangkaian ini terus diperkasakan bagi memastikan bekalan barangan keperluan asas dapat disalurkan dengan lebih meluas kepada masyarakat. Bagi menyokong hasrat tersebut, KUSKOP melalui SKM telah dan sedang melaksanakan beberapa langkah yang strategik.

Antaranya, memperkukuh penjenamaan Coop Mart melalui penyeragaman identiti premis di seluruh negara bagi memperkenalkan jenama Coop sejak 1922 bagi produk keperluan asas seperti beras dan minyak masak yang ditawarkan pada harga kompetitif, berbanding harga pasaran.

Pada masa yang sama, KUSKOP melalui SKM turut memperluaskan penyertaan Coop Mart sebagai rakan niaga MyKasih Foundation bagi pelaksanaan program MySARA dan MyKasih. Sehingga 30 Jun tahun ini, sebanyak 209 premis Coop Mart telah diluluskan sebagai rakan niaga, sekali gus memudahkan penerima bantuan menebus barangan keperluan asas menggunakan kad pengenalan di kedai koperasi. Inisiatif ini bukan sahaja meningkatkan kemudahan kepada rakyat, malah membantu meningkatkan jualan serta memperkukuh kelestarian operasi Coop Mart.

Dato Yang di-Pertua, dari aspek rantaian bekalan, KUSKOP melalui SKM juga memberi penekanan kepada pembangunan pusat pengedaran koperasi bagi memastikan bekalan barangan dapat diagihkan dengan lebih cekap dan stabil. Sehingga 30 Jun tahun ini, sebanyak 45 pusat pengedaran koperasi telah diwujudkan di seluruh negara bagi menyokong rangkaian pemborongan dan peruncitan koperasi.

Selain itu, melalui Program Pemerkasaan Rantaian Bekalan Koperasi, SKM menyediakan geran pembangunan sebanyak RM1 juta pada tahun ini bagi membangun dan mengembangkan pusat pengedaran dan pusat pengumpulan, dengan izin, distribution centre dan sub-distribution centre. Sehingga Jun tahun ini juga, sebanyak tiga koperasi telah diluluskan bantuan berjumlah RM618,380 di bawah program tersebut.

Secara keseluruhannya, Dato Speaker, pendekatan yang menyeluruh ini akan terus memperkukuh ekosistem koperasi sebagai rangkaian pengedaran barangan keperluan asas yang berdaya saing. Usaha ini sekali gus memperkukuhkan pelaksanaan Program Jualan MADANI Koperasi dalam membantu menangani kos sara hidup rakyat, di samping meningkatkan pendapatan koperasi serta merancakkan aktiviti ekonomi komuniti di seluruh negara. Sekian dan terima kasih.

draft11:40 AM

Dato’ Seri Prof. Dr. Noor Inayah binti Ya’akub

Dato Yang di-Pertua, bolehkah saya mohon izin? Disebabkan hari ini Hari Sarawak, saya tak sampai hati Senator sebelah saya ini, Tuan Michael, ingin bertanyakan soalan tambahan. Saya tidak ada soalan tambahan.

draft11:40 AM

Tuan Yang di-Pertua

Itu soalan terakhir sahaja, Michael. Sebab Hari Sarawak, saya bagi you ruang untuk-mu lah.

draft11:40 AM

Tuan Michael Mujah Lihan

Terima kasih Dato Yang di-Pertua. Soalan tambahan.

Memandangkan kos logistik di Sarawak jauh lebih tinggi berikutan faktor geografi dan keluasan kawasan, apakah strategi khusus kementerian bagi memastikan koperasi di kawasan pedalaman dapat menyertai Program Jualan MADANI Koperasi tanpa bebanan oleh kos pengangkutan dan operasi yang tinggi? Terima kasih.

draft11:40 AM

Datuk Mohamad bin Alamin

Terima kasih Yang Berhormat Senator. Selamat Hari Sarawak juga saya ucapkan.

Memang kita sentiasa cakna dan juga sensitif tentang keperluan di luar bandar, Dato Speaker, disebabkan kita dalam proses untuk memperkasakan setiap Coop Mart-Coop Mart yang ada di seluruh negara, termasuk juga yang ada di Sarawak. Di Sarawak, contohnya, pada tahun ini sahaja, kita telah mengadakan Jualan MADANI sebanyak 10 kali melibatkan jualan setakat ini RM105,000 dan juga melibatkan subsidi hampir RM50,000.

Maknanya, kita berikan subsidi kepada semua koperasi Coop Mart kita supaya mereka dapat menjalankan Program Jualan MADANI itu di luar bandar di Sarawak. Di Sabah juga kita adakan. Contoh di Sabah, 16 kali kita buat. Sekali kita buat juga di Pulau Bum Bum juga sekali.

Jadi, maknanya kita sentiasa mengadakan program ini di luar bandar juga bagi membolehkan masyarakat kita untuk memperoleh barangan keperluan asas supaya tak pergi jauh-jauh. Hanya dapat di koperasi dengan harga yang lebih murah, Dato Speaker.

Tadi kita juga sebut 45 koperasi telah— 200 lebih kurang yang telah diterima sebagai rakan niaga SARA, MyKasih. Mereka juga boleh tuntut menggunakan kad pengenalan itu dapatkan barangan itu di koperasi-koperasi kita yang terpilih. Kita memudahkan untuk rakyat kita mendapatkan barangan keperluan asas, termasuk di Sarawak juga. Insya-Allah.

Terima kasih.

draft11:40 AM

Tuan Yang di-Pertua

Yang Berhormat Senator Datuk Rosni.

draft11:40 AM

Datuk Rosni binti Sohar

Terima kasih Dato Speaker. Saya juga ingin mengucapkan selamat menyambut Hari Sarawak kepada Dato Speaker, YB-YB. Senator, staf dan semua yang berasal dari Sarawak. Soalan saya nombor 9.

draft11:40 AM

9. Datuk Rosni binti Sohar minta Menteri Kewangan menyatakan, dasar dan mekanisme yang digunakan kerajaan untuk menyelaras hala tuju pelaburan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan dana awam agar sejajar dengan keutamaan pembangunan negara, khususnya dalam sektor ekonomi strategik yang berimpak tinggi.

draft11:40 AM

Timbalan Menteri Kewangan - Tuan Liew Chin Tong

Terima kasih Dato Yang di- Pertua. Terima kasih Yang Berhormat Senator Datuk Rosni binti Sohar.

Dato Yang di-Pertua, pelaksanaan hala tuju pelaburan GLIC dan dana awam berpaksikan Kerangka Ekonomi MADANI yang menetapkan matlamat untuk Malaysia berada dalam kalangan 30 ekonomi terbesar dunia dan mengembalikan 45 peratus pendapatan negara kepada pekerja. Keutamaan sektor pula dipandu oleh dasar-dasar pembangunan negara iaitu Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030, Strategi Semikonduktor Nasional (NSS), Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Rancangan Malaysia Ketiga Belas.

Mekanisme utamanya ialah Program Pengaktifan dan Reformasi Syarikat Berkaitan Kerajaan, atau GEAR-uP Programme, yang diperkenalkan pada Ogos 2024 dan menggembleng enam GLIC utama iaitu KWSP, PNB, KWAP, Khazanah, Lembaga Tabung Haji dan LTAT untuk melaksanakan komitmen pelaburan langsung domestik berjumlah RM120 bilion bagi tempoh 2024 hingga 2028, di samping RM440 bilion pelaburan sedia ada dalam pasaran awam domestik. Mulai tahun 2025, penyelarasan ini diperluaskan kepada 37 syarikat berkaitan kerajaan atau GLC.

draft11:40 AM

Timbalan Menteri Kewangan - Tuan Liew Chin Tong

GEAR-uP berfungsi sebagai platform penyelarasan strategik. GLC melabur dalam sektor high-growth high-value kerana pelaburan tersebut wajar dari segi komersial dan sejajar dengan mandat fidusiari masing-masing untuk menjana pulangan mampan kepada pencarum dan pemegang unit amanah. Manakala, setiap Ringgit modal institusi dirancangkan untuk menggembleng penyertaan modal swasta ataupun crowding in. Pelaksanaan program ini berkembang mengikut tiga fasa yang jelas. Pada tahun 2024, kerajaan bersama GLIC menetapkan hala tuju dan memeterai komitmen. Pada tahun 2025, modal untuk digerakkan iaitu dana-dana pelaburan seperti Jelawang Capital, Dana Perintis, Dana Pemacu dan Dana Iklim dilancarkan dan mula beroperasi dan DDI atau Domestic Direct Investment. Ekosistem GLIC meningkat hampir tiga kali ganda berbanding tahun 2024.

Kini, pada tahun 2026, hasil pelaburan tersebut mula dituai pada peringkat syarikat dan pekerjaan. Izinkan saya berkongsi beberapa contoh. Dalam ekosistem semikonduktor, firma reka bentuk cip tempatan, SkyeChip telah disokong oleh Khazanah dan KWAP daripada peringkat awal pertumbuhannya sehingga ke penyenaraian awam atau listing.

Pelaburan strategik Khazanah dalam syarikat teknologi global Syntiant pula membawa pemindahan teknologi ke Malaysia dan mewujudkan sekitar 800 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi di Pulau Pinang.

Dalam agroindustri, Khazanah turut membiayai syarikat AgriTech, agri-teknologi tempatan seperti Aonic bagi memodenkan pengeluaran huluan, manakala KWAP menyokong perkembangan jenama tempatan seperti Mamee dan ZUS Coffee menjadi juara serantau.

Dalam bidang warisan, inisiatif warisan KL yang diterajui Khazanah telah membuka semula Bangunan Sultan Abdul Samad kepada orang ramai dan bangunan bersejarah itu kini diaktifkan oleh jenama tempatan seperti Oriental Kopi dan Royal Selangor.

Di samping GLIC, Syarikat Menteri Kewangan Diperbadankan atau MKD memainkan peranan sebagai wahana pelaburan strategik kerajaan. Syarikat MKD memenuhi jurang pasaran atau market gap dalam bidang berimpak tinggi, berteknologi tinggi serta yang melibatkan modal permulaan besar yang tidak mampu diceburi pihak swasta.

Syarikat MKD juga melaksanakan obligasi sosial, termasuk penyediaan kemudahan awam seperti perkhidmatan pengangkutan awam dan utiliti, di samping mengelakkan pegangan— mengekalkan pegangan ekuiti kerajaan dalam sektor strategik dan memaksimumkan impak pelaburan kerajaan terhadap pembangunan ekonomi dan kualiti kehidupan rakyat. Peranan ini melengkapi peranan komersial GLIC.

Manfaat penyelarasan ini kembali kepada rakyat melalui dua saluran. Pertama, sebagai pulangan kepada lebih 18 juta ahli KWSP, lebih 11 juta pemegang unit amanah PNB serta pencarum dan pendeposit LTAT dan Tabung Haji.

Kedua, sebagai peluang melalui pekerjaan berkemahiran tinggi, pembangunan bakat menerusi platform Bakat MADANI yang dilancarkan pada bulan Jun 2026, pengukuhan ekosistem vendor dan PMKS, serta komitmen bersama GLC dan GLIC ke arah gaji sara hidup.

Kesimpulannya Dato Yang di-Pertua, penyelarasan hala tuju pelaburan GLIC dan dana awam dilaksanakan melalui dasar pembangunan negara yang jelas, mekanisme penyelarasan GEAR-uP dan peranan strategik MKD, di samping menghormati mandat pelaburan tadbir urus dan tanggungjawab fidusiari setiap institusi. Kemajuan penuh program ini akan dilaporkan secara menyeluruh dan telus dalam Laporan Kemajuan GEAR-uP yang akan diterbitkan tidak lama lagi.

Matlamat kerajaan adalah untuk memastikan modal institusi negara membawa keupayaan yang kekal iaitu industri yang mampan, syarikat yang berdaya saing dan kehidupan rakyat yang lebih terjamin. Terima kasih.

draft11:50 AM

Datuk Rosni binti Sohar

Soalan tambahan saya kepada YB Menteri. Apakah mekanisme untuk memastikan pelaburan GLIC turut memberi limpahan manfaat ya, kepada perusahaan mikro kecil dan sederhana iaitu PMKS dan bukan hanya kepada— tertumpu kepada syarikat besar sahaja? Terima kasih.

draft11:50 AM

Tuan Liew Chin Tong

Terima kasih. Untuk jangka panjang melalui Program GEAR- uP dan juga program-program lain, kerajaan harap boleh membangun industri yang lebih mampan dan industri yang lebih dinamik melalui dasar New Industrial Master Plan 2030 dan juga National Semiconductor Strategy.

Apa yang kerajaan berhasrat ialah melalui pelaburan daripada GLIC dan GLC, dan juga crowding in dana dan juga pelaburan tempatan dan juga luar negara, negara kita boleh jadi satu negara dengan teknologi sendiri. Walaupun bukan teknologi yang paling tinggi tetapi kita jadi apa yang saya panggil indispensable middle, di mana kita berada dalam global supply chain. Kita memegang chokepoint dan kita memastikan kita ada industri dan teknologi.

Bukan sahaja kita ada industri, tetapi kita juga perlu ada— perlu memegang teknologi dan dengan itu, kita boleh membantu seluruh— secara keseluruhan ekosistem kita, termasuk PMKS tempatan. Terima kasih.

draft11:50 AM

Tuan Yang di-Pertua

Kita ke soalan jawapan lisan terakhir pada pagi ini. Dipersilakan, Yang Berhormat Senator Datuk Dr. Haji Mustafa.

draft11:50 AM

Datuk Dr. Haji Mustafa bin Musa

Terima kasih, Dato Yang di-Pertua. Soalan saya nombor 10.

draft11:50 AM

10. Datuk Dr. Haji Mustafa bin Musa minta Menteri Kerja Raya menyatakan, langkah- langkah efektif bagi menguatkuasa Perintah Pengurangan Had Laju Kebangsaan bagi kenderaan berat yang melalui lebuh raya yang menjalani projek naik taraf lebuh raya seperti Lebuhraya KL–Karak dan Lebuhraya PLUS agar kejadian kemalangan maut di lokasi merbahaya di lebuh raya tersebut dapat dihindari dengan berkesan sepanjang perlaksanaan projek pelebaran tersebut.

draft11:50 AM

Timbalan Menteri Kerja Raya - Datuk Seri Dr. Haji Ahmad bin Haji Maslan

Dato Yang di-Pertua, soalan Datuk Mustafa Musa ini adalah mengenai langkah-langkah efektif bagi menguatkuasa Perintah Pengurangan Halangan Had Laju dan juga projek naik taraf lebuh raya.

Kementerian Kerja Raya melalui Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) sentiasa memberi keutamaan terhadap aspek keselamatan pengguna lebuh raya, khususnya di kawasan yang sedang menjalani kerja-kerja pembinaan atau pelebaran lebuh raya seperti Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak dan Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS).

Antara langkah yang dilaksanakan— pertama, melaksanakan Pelan Pengurusan Trafik— Traffic Management Plan (TMP) yang komprehensif oleh syarikat konsesi dan pihak kontraktor sepanjang tempoh pembinaan. Pelan ini merangkumi penyediaan papan tanda amaran, pengurangan had laju, penempatan peralatan kawalan trafik seperti penghadang trafik, lampu amaran, lampu limpah serta kawalan trafik mengikut spesifikasi piawaian mengikut garis panduan ditetapkan.

Kedua, memantau secara 24 jam sehari oleh pasukan trafik ERT— Emergency Response Team bagi memastikan semua keperluan keselamatan di kawasan pembinaan dipatuhi, termasuk pematuhan kepada spesifikasi TMP yang telah diluluskan.

Selain itu, ERT juga berperanan mengesan sebarang kejadian insiden dengan lebih pantas, membekal maklumat awal kepada pusat kawalan trafik— traffic control centre untuk disalurkan kepada pengguna lebuh raya. Menerusi langkah ini, proses pengalihan kenderaan dan pembersihan laluan utama akibat daripada kemalangan dapat diuruskan dengan cekap dan teratur.

Ketiga, melaksanakan Audit Keselamatan Jalan Raya— Road Safety Audit (RSA) secara berperingkat bagi mengenal pasti keberkesanan pelan pengurusan trafik semasa peringkat pembinaan dan juga operasi. Sebarang penemuan hasil audit ditangani segera melalui langkah-langkah mitigasi yang bersesuaian.

Keempat, memperkukuh advokasi dan pendidikan keselamatan jalan raya melalui kerjasama strategik dan kolaborasi dengan syarikat-syarikat konsesi lebuh raya dan agensi seperti PDRM, JPJ, MIROS, MPC— Perbadanan Produktiviti Malaysia.

Dan yang kelima, mempergiat pelaksanaan kempen kesedaran melalui pelbagai platform media sosial dan saluran komunikasi digital berhubung kepentingan mematuhi had laju yang ditetapkan, kenderaan berat tidak dibenarkan menggunakan lorong kanan dan keperluan mematuhi peraturan lalu lintas ke arah mewujudkan budaya pemanduan yang berdisiplin dan selamat.

draft11:50 AM

Timbalan Menteri Kerja Raya - Datuk Seri Dr. Haji Ahmad bin Haji Maslan

Di samping itu, KKR melalui LLM dan syarikat konsesi terus bekerjasama dengan polis, JPJ serta pihak berkepentingan bagi memperkukuh penguatkuasaan terhadap had laju kenderaan berat dan kepatuhan peraturan jalan raya. Pendekatan penguatkuasaan bersepadu melalui operasi berkala di lokasi-lokasi strategik penting bagi meminimumkan risiko kemalangan dan keselamatan penggunaan lebuh raya sentiasa terjamin.

Terima kasih.

draft12:00 PM

Datuk Dr. Haji Mustafa bin Musa

Terima kasih jawapan yang lengkap daripada Menteri. Bagaimanapun, daripada maklum balas kemalangan di tempat-tempat yang melibatkan projek-projek naik taraf lebuh raya dan jalan raya, sejauh manakah pegawai penguasa projek ataupun wakil pegawai penguasa mengendalikan rutin audit pencegahan, selenggara aksesori alatan barrier atau penghalang atau penghadang, agar kedudukan dan integriti patut letak alat berada pada kedudukan dimensi atau jajaran, cadangan yang betul dan sempurna sepanjang masa?

Dan juga, bagaimana kerajaan menetapkan satu tanda aras keselamatan lima bintang bagi lampu pandu arah projek dan tanda amaran agar tiada lagi kemalangan maut disebabkan kecuaian dan mis maintenance alatan dan aksesori keselamatan pengguna lain, khususnya di projek-projek naik taraf jalan raya di lebuh raya. Terima kasih, Dato Yang di-Pertua.

draft12:00 PM

Datuk Seri Dr. Haji Ahmad bin Haji Maslan

Dato Yang di-Pertua, sebahagiannya telah saya jawab. Apa yang kita harapkan ialah sebagaimana berlaku di Selatan, saya berada selepas kejadian itu dan turun sendiri melihat bagaimana enam kenderaan terlibat, empat terbakar ya, seorang maut, lima cedera di kawasan pembesaran lebuh raya di kawasan Sedenak ke Senai Utara.

Apa yang berlaku ialah seluruh kawasan pembesaran jalan itu daripada empat lorong kepada enam lorong, tiga kiri dan kanan. Kita ada barrier putih merah itu dan barrier itu sebenarnya tidak menutup laluan empat lorong. Betul-betul di tepi lorong kedua, kiri dan kanan.

Walau bagaimanapun, kenderaan banyak memperlahankan disebabkan semacam ada gangguan kiri dan kanan, walhal jalan itu kekal empat lorong sebab lorong ketiga di kiri dan kanan itu dibuat di kawasan yang ada boundary, ada sempadan.

Bagi menjawab soalan Yang Berhormat, LLM yang bertindak sebagai pemantau bagi memastikan pihak syarikat konsesi dalam hal ini PLUS, supaya sentiasa menjalankan obligasi dan tanggungjawab yang diberikan. Saya dah sebutkan tadi tentang ERT— emergeny response team dan kita akan memastikan penyuraian trafik dibuat dengan pantas dan pengalihan kenderaan yang terlibat dalam kemalangan diangkat dengan pantas, termasuklah memastikan keadaan susun atur dan juga papan tanda, kon selamatan, penghadang plastik dilakukan dengan sempurna. Terima kasih.

draft12:00 PM

Tuan Yang di-Pertua

Ahli-ahli Yang Berhormat, selesai sudah Sesi Pertanyaan- pertanyaan bagi Jawab Lisan pada sesi kita. Sebenarnya dah tengah hari. Dari pagi tadi. Ya, Setiausaha.

[Sesi Pertanyaan-pertanyaan bagi Jawab Lisan tamat]

draft12:00 PM
RANG UNDANG-UNDANG
RANG UNDANG-UNDANG PERLINDUNGAN SAKSI (PINDAAN) 2026 Bacaan Kali Yang Kedua dan Ketiga

Tuan Yang di-Pertua

Ahli-ahli Yang Berhormat, sebelum kita memanggil Menteri untuk membentang undang-undang itu, ingin dimaklumkan bahawa Dewan kita tidak akan ditangguhkan seperti semalam sehingga diputusnya dan dilulus D.R.15/2026 ini iaitu Rang Undang-undang Perlindungan Saksi (Pindaan) 2026 iaitu dalam Aturan Urusan No.1 dan kita ada lunch break-lah seperti biasa dan selepas itu, selepas tamat semua termasuk after the lunch break, barulah kita ditangguh kepada esok hari.

Ya, dipersilakan Yang Berhormat Menteri.

draft12:00 PM

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) - Tuan M. Kulasegaran a/l V. Murugeson

Terima kasih. Dato Yang di-Pertua, saya mohon mencadangkan supaya Rang Undang-undang Perlindungan Saksi (Pindaan) 2026 dibacakan untuk kali yang kedua sekarang.

Dato Yang di-Pertua, izinkan saya membentang Rang Undang-undang (RUU) Perlindungan Saksi (Pindaan) 2026 yang bertujuan untuk memperkukuh keselamatan, kebajikan dan perlindungan fizikal kepada saksi-saksi yang memberikan keterangan penting dalam kes-kes jenayah berat, rasuah dan berprofil tinggi. Langkah ini penting bagi memastikan integriti sistem keadilan jenayah negara sentiasa terpelihara dan saksi bebas dari sebarang bentuk intimidasi, ugutan atau ancaman yang boleh memudaratkan diri serta keluarga mereka.

[Timbalan Yang di-Pertua **mempengerusikan Mesyuarat****] Datuk Yang di-Pertua, kita mengetahui tentang kes-kes berprofil tinggi yang tular dan menarik perhatian meluas daripada masyarakat, termasuk kes-kes melibatkan kesalahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) Kanun Keseksaan dan Akta Dadah Berbahaya 1952.

Namun, harus kita akui bahawa terdapat ramai lagi saksi penting yang mungkin mengalami trauma, ketakutan dan ancaman dalam senyap tanpa jaminan perlindungan yang lebih jelas serta tanpa saluran kebajikan yang mencukupi selepas perlindungan dan bantuan yang mereka terima di bawah Program Perlindungan Saksi ditamatkan.

Saya ingin menegaskan pada hari ini, bahawa Kerajaan MADANI memandang isu keselamatan dan kebajikan saksi bukan sebagai perkara remeh tetapi sebagai asas utama integriti perundangan dan kesejahteraan sosial. Sudah tiba masanya negara ini memastikan bahawa aspek perlindungan keselamatan dan kepentingan saksi ditangani melalui mekanisme perundangan yang diperkukuh agar proses pengadilan sentiasa terpelihara sebaiknya.

Datuk Yang di-Pertua, perkara ini juga mencerminkan iltizam murni kerajaan dalam memenuhi obligasi antarabangsa, khususnya di bawah Artikel 32 Konvensyen Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Menentang Rasuah United Nations Convention Against Corruption

(UNCAC) yang menetapkan komitmen negara anggota untuk menyediakan mekanisme perlindungan saksi yang komprehensif, bebas dan efektif bagi memastikan proses pengadilan dapat berjalan dengan adil.

Datuk Yang di-Pertua, kerajaan amat komited dalam memastikan tiada mana-mana individu yang sanggup tampil membantu menegakkan keadilan berasa terancam. Namun, selepas tempoh penguatkuasaan Akta Perlindungan Saksi 2009 [Akta 696] pada 2010, terdapat beberapa ruang kosong dan kekangan operasi yang perlu ditambah baik dengan segera.

Statistik kehakiman dan penguatkuasaan menunjukkan keberhasilan sabitan kes-kes besar amat bergantung kepada kualiti serta keselamatan keterangan saksi. Kegagalan melindungi saksi secara holistik boleh menjejaskan keyakinan awam untuk bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan.

Datuk Yang di-Pertua, usul memperkasakan perlindungan saksi harus disandarkan kepada realiti data dan fakta. Data daripada Bahagian Perlindungan Jabatan Perdana Menteri

(BPJPM) melaporkan peningkatan tahunan dalam penyertaan saksi ke dalam Program Perlindungan Saksi dengan lonjakan ketara direkodkan sejak tahun 2020.

draft12:05 PM

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) - Tuan M. Kulasegaran a/l V. Murugeson

Melalui data rasmi tersebut, rekod menunjukkan sebanyak 34 saksi atau peserta Program Perlindungan Saksi telah dilindungi pada tahun 2020, melonjak kepada 55 peserta pada tahun 2021 dan mencapai angka tertinggi iaitu 78 peserta pada tahun 2022. Trend konsisten ini diteruskan dengan 76 peserta pada tahun 2023, 58 peserta pada tahun 2024, 32 peserta pada tahun 2025 dan setakat 31 Mei 2026, sebanyak 17 peserta telah direkodkan.

Peningkatan penyertaan saksi bagi kes-kes berprofil tinggi yang menyentuh sensitiveness agama, ketenteraman awam dan kestabilan ekonomi ini, jelas mencerminkan tahap kepercayaan masyarakat yang semakin kukuh terhadap BPJPM sebagai pentadbir Program Perlindungan Saksi. Namun, perkembangan ini juga memberi isyarat jelas bahawa terdapat keperluan mendesak untuk memperkukuh kerangka perundangan sedia ada.

Bahagian Hal Ehwal Undang-undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU– JPM) bersama BPJPM mengambil langkah proaktif mengadakan beberapa siri mesyuarat bermula 18 Februari, 24 Mac dan 15 Mei 2025 untuk mengenal pasti isu-isu pelaksanaan Program Perlindungan Saksi.

Seterusnya mesyuarat koordinasi telah diadakan pada 25 Jun 2025, diikuti Bengkel Penyelarasan Penetapan Dasar pada 4 Ogos 2025 yang melibatkan sinergi merentasi pelbagai kementerian, agensi penguatkuasaan, mahkamah, Majlis Peguam serta NGO seperti SUHAKAM dan SUARAM.

Cadangan ini kemudiannya diselaraskan dan diangkat ke jawatankuasa induk yang dipengerusikan oleh Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang, Jabatan Perdana Menteri pada 29 Ogos 2025, sehingga Jemaah Menteri bersetuju secara prinsip dengan dasar pindaan Akta 696 pada 1 April 2026. Susulan itu, siri sesi libat urus secara bersemuka dan hubungan hebahan portal rasmi serta media sosial telah dan akan terus digerakkan secara terancang bermula dari Jun 2025 sehingga Julai 2026. Sesi-sesi ini bertujuan memastikan tujuan rasional serta keperluan pindaan difahami sepenuhnya oleh semua pihak berkepentingan.

Datuk Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat Senator sekalian, cadangan rang undang-undang ini mempunyai enam fasal, sebagaimana yang dinyatakan dalam naskhah biru

(blue bill) yang telah diedarkan kepada Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian. Pindaan terhadap Akta 696 ini, bertujuan untuk memastikan aspek perlindungan keselamatan dan kebajikan saksi yang diberikan perlindungan di bawah Program Perlindungan Saksi sentiasa terpelihara sebaiknya, memperluas skop perlindungan dan bantuan, bukan saja kepada peserta Program Perlindungan Saksi, malah kepada peserta yang perlindungan oleh Peguam Negara serta memperkasa pengurusan operasi dan pelaksanaan Program Perlindungan Saksi yang berkesan.

Datuk Yang di-Pertua, seterusnya izinkan saya menghuraikan fasal-fasal utama yang terkandung dalam Rang Undang-undang Perlindungan Saksi (Pindaan) 2026 yang sedang dipertimbangkan oleh Dewan yang mulia ini.

Pertama, fasal 1 mengandungi tajuk ringkas dan peruntukan mengenai permulaan kuat kuasa akta yang dicadangkan.

Kedua, fasal 2, bertujuan untuk meminda seksyen 7(3) [Akta 696] dengan menambah peruntukan baharu bagi membolehkan ibu atau bapa atau penjaga membuat permohonan untuk menyertai Program Perlindungan Saksi bagi pihak saksi yang tidak mempunyai keupayaan undang-undang. Saksi yang dikategorikan sebagai tidak mempunyai keupayaan undang-undang adalah merangkumi saksi yang telah mencapai usia 18 tahun dan ke atas, namun tidak sempurna akalnya serta mempunyai kekurangan jangka panjang dari segi mental dan intelektual yang boleh menyekat penyertaan penuh dan berkesan. Mereka dalam masyarakat seperti contoh individu dewasa yang mengalami masalah mental atau gangguan spektrum, autisme tetapi mereka merupakan saksi penting dalam sesuatu kes pendakwaan.

Berdasarkan peruntukan subseksyen 7(3) sedia hanya ibu atau bapa atau penjaga bagi saksi yang berumur di bawah 18 tahun sahaja yang boleh membuat permohonan bagi pihak saksi ini. Oleh itu, berdasarkan pindaan ini, ibu atau bapa atau penjaga kepada saksi yang tidak mempunyai keupayaan undang-undang, boleh membuat permohonan bagi pihak saksi dalam kategori ini sekiranya mereka merupakan saksi penting.

Ketiga, fasal 3 bertujuan untuk memperkenalkan satu seksyen baharu iaitu seksyen 10A ke dalam Akta 696. Seksyen baharu ini mewajibkan satu perjanjian formal ditandatangani oleh saksi atau bagi pihaknya oleh ibu bapa atau penjaga jika saksi berumur di bawah 18 tahun, atau tidak mempunyai keupayaan undang-undang. Setelah saksi itu diterima masuk sebagai peserta Program Perlindungan Saksi oleh Peguam Negara.

Untuk makluman Ahli-ahli Yang Berhormat Senator, dalam konteks Akta 696, saksi yang telah dimasukkan ke dalam Program Perlindungan Saksi digelar sebagai peserta.

Perjanjian ini bertujuan untuk memberikan penjelasan kepada peserta mengenai butiran perlindungan dan bantuan yang akan diberikan di bawah Program Perlindungan Saksi, tanggungjawab peserta dan kerajaan serta terma dan syarat yang perlu dipatuhi oleh peserta sepanjang perlindungan diberikan.

Butiran mengenai perjanjian ini akan dimaklumkan kepada saksi yang membuat permohonan kemasukan Program Perlindungan Saksi semasa siasatan terhadap permohonan dijalankan oleh pihak BPJPM.

Datuk Yang di-Pertua, peruntukan Akta 696 sedia ada tidak menetapkan mengenai kewajipan ke atas peserta Program Perlindungan Saksi untuk menandatangani perjanjian dengan BP Jabatan Perdana Menteri selaku wakil kerajaan. Walau bagaimanapun BPJPM secara pentadbiran telah melaksanakan keperluan untuk setiap peserta menandatangani perjanjian bagi memastikan setiap peserta mematuhi terma dan syarat yang ditetapkan di bawah Program Perlindungan Saksi.

Sehubungan itu, fasal 3 juga bertujuan untuk memperkenalkan Seksyen baharu 10B yang memperuntukkan bahawa perjanjian sedia ada yang telah dibuat antara peserta dengan kerajaan sebelum ini berkuat kuasanya pindaan akta ini hendaklah terus berkuat kuasa selagi perjanjian tersebut masih berkuat kuasa di sisi undang-undang.

Seksyen 10B baharu ini juga memperuntukkan bahawa pihak-pihak kepada perjanjian tersebut tertakluk kepada hak dan obligasi di bawah akta ini. Pindaan yang dicadangkan akan menambah baik amalan kerja BPJPM serta menjadikan mekanisme bagi memperincikan perlindungan dan bantuan yang boleh diberikan kepada peserta di bawah program perlindungan.

draft12:10 PM

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) - Tuan M. Kulasegaran a/l V. Murugeson

Datuk Yang di-Pertua, saksi yang diterima masuk sebagai peserta Program Perlindungan Saksi, lazimnya berhadapan dengan gangguan emosi, kemurungan, trauma serta tekanan psikologi akibat kejadian jenayah yang disaksikan sendiri, termasuk ancaman nyawa yang dialami sebelum mereka diterima masuk ke dalam Program Perlindungan Saksi dan faktor-faktor lain yang berkaitan.

Keadaan psikologi yang terganggu boleh menjejaskan keupayaan dan ketetapan keterangan yang akan diberikan di mahkamah. Justeru, adalah penting untuk memastikan tiada psikologi peserta sentiasa berada dalam keadaan baik dan stabil.

Fasal 4, bertujuan untuk meminda seksyen 13 Akta 696, dengan memasukkan peranan baharu IA dalam subseksyen 13(2). Pindaan ini secara khusus menyediakan bantuan psikologi, termasuk kaunseling kepada peserta Program Perlindungan Saksi sebagai salah satu tindakan yang boleh diambil oleh Ketua Pengarah untuk melindungi keselamatan dan kebajikan peserta. Bantuan psikologi yang dicadangkan ini adalah merupakan bantuan profesional yang menumpukan kepada aspek kesihatan mental dan kesejahteraan emosi peserta, termasuk pengurusan trauma, kebimbangan, tekanan dan ketakutan.

Perkhidmatan psikologi akan dilaksanakan secara profesional oleh pegawai psikologi bertauliah kerajaan atau pakar yang dilantik mengikut keperluan pindaan ini adalah amat signifikan dan merupakan satu keperluan agar kesihatan mental peserta sentiasa terpelihara dan membantu peserta yang bersedia memberikan keterangan di mahkamah.

Seterusnya, fasal 5 bertujuan untuk meminda seksyen 16 Akta 696, dengan memasukkan perenggan baharu dalam subseksyen 16(1) yang membenarkan penamatan Program Perlindungan Saksi seseorang peserta jika peserta itu dengan sengaja melanggar sesuatu terma dan syarat dalam perjanjian. Namun begitu, kuasa muktamad untuk menentukan penamatan Program Perlindungan Saksi seseorang peserta, terletak di bawah bidang kuasa Peguam Negara dan hendaklah dilaksanakan mengikut prosedur yang diperuntukkan di bawah seksyen 16 Akta 696.

Fasal 5 yang bertujuan untuk mengadakan peruntukan baharu bagi memberikan kuasa kepada Ketua Pengarah untuk menyediakan perlindungan dan bantuan yang perlu dan munasabah kepada peserta yang baru sahaja ditamatkan perlindungan dan bantuan di bawah Program Perlindungan Saksi oleh Peguam Negara. Kemudahan ini diberikan secara sekali beri atau dengan izin, secara one-off bagi memastikan mereka dapat menjalani peralihan hidup dengan selamat, sejurus selepas keluar daripada Program Perlindungan Saksi.

Saksi dan bukannya bersifat bantuan berterusan untuk jangka masa panjang.

Perlindungan dan bantuan yang akan diberikan boleh merangkumi bantuan bagi penempatan semula ke dalam— ke tempat yang selamat atau bantuan kewangan supaya peserta ini, dapat membayar segala keperluan dari segi tempat kediaman, kos pemindahan barang dari rumah perlindungan saksi (RPS) ke penempatan baharu, pemindahan tempat persekolahan dan sebagainya.

Pindaan ini dicadangkan memandangkan peruntukan Akta 696 serta sedia ada hanya memberikan tumpuan kepada perlindungan dan bantuan kepada peserta semasa tempoh perlindungan di bawah Program Perlindungan Saksi tanpa sebarang mekanisme sokongan formal selepas Program Perlindungan Saksi berakhir. Oleh itu, peruntukan sokongan pascaperlindungan akan memastikan peserta dapat menjalani proses peralihan hidup dengan selamat, selepas keluar daripada Program Perlindungan Saksi.

Seterusnya, fasal 6 bertujuan untuk memastikan seksyen baharu 29A ke dalam Akta 696 bagi memberikan kuasa kepada Ketua Pengarah untuk mengeluarkan Perintah Pentadbiran yang dikenali sebagai Perintah-perintah Tetap. Perintah Pentadbiran ini hendaklah selaras dengan akta dan merangkumi perkara-perkara seperti kawalan am, latihan, tugas dan tanggungjawab pegawai, serta lain-lain yang perlu bagi pentadbiran dan perlaksanaan Program Perlindungan Saksi.

Untuk makluman Ahli-ahli Yang Berhormat Senator, Ketua Pengarah BPJPM secara amalannya telah mengeluarkan Arahan Pentadbiran berkaitan hal ehwal pentadbiran, operasi dan perlaksanaan Program Perlindungan Saksi bagi memastikan Program Perlindungan Saksi ini, berjaya dilaksanakan dengan berkesan.

Namun, Arahan Pentadbiran ini tidak diperuntukkan dalam Akta 696. Oleh itu, fasal 6 juga bertujuan untuk memberi legitimasi undang-undang kepada Arahan Pentadbiran. Ketua Pengarah yang telah diamalkan dan bagi mengekalkan cabaran terhadap kesahihannya.

Datuk Yang di-Pertua, cadangan pindaan kepada Akta 696, bukan sahaja akan memperkukuh fungsi, akta ini dalam melindungi saksi penting yang memberikan keterangannya dalam prosiding mahkamah. Malah, turut meningkatkan keyakinan masyarakat bahawa keselamatan dan kebajikan mereka serta ahli keluarga akan sentiasa terpelihara sepanjang tempoh perlindungan dan juga selepas Program Perlindungan Saksi ditamatkan.

Perlindungan yang lebih berkomprehensif ini diyakini akan menggalakkan lebih ramai saksi tampil memberikan kerjasama tanpa rasa takut atau bimbang terhadap sebarang ancaman.

Di samping itu, prosiding yang dicadangkan dijangka memberikan impak positif yang signifikan terhadap fungsi BPJPM sebagai pentadbir Program Perlindungan Saksi melalui pengukuhan kerangka perundangan serta meningkatkan keupayaan operasi jabatan secara menyeluruh. Inisiatif ini bukan sahaja mengiktiraf dan memperkukuh amalan pentadbiran sedia ada, malah turut memperkenalkan mekanisme baharu yang penting bagi membolehkan BPJPM melaksanakan tanggungjawabnya dengan lebih berkesan, cekap dan menyeluruh.

Datuk Yang di-Pertua, pindaan kepada Akta 696 juga menzahirkan komitmen kerajaan bahawa negara melindungi mereka yang berani berkata benar dengan memastikan setiap individu yang tampil memberikan keterangan atau kerjasama kepada pihak berkuasa mendapat perlindungan yang sewajarnya tanpa rasa takut ancaman atau intimidasi. Oleh itu, saya menyeru sokongan daripada semua Ahli Dewan yang mulia ini agar rang undang-undang ini dapat diluluskan demi masa depan keadilan dan integriti undang-undang negara kita.

Sekian, terima kasih.

Saya mohon mencadangkan. Terima kasih, Datuk.

draft12:20 PM

Timbalan Yang di-Pertua

Terima kasih, YB. Menteri. Ada sesiapa menyokong?

draft12:20 PM

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan - Datuk Hajah Aiman Athirah binti Sabu

Tuan Yang di-Pertua, saya mohon menyokong.

draft12:20 PM

Timbalan Yang di-Pertua

Ahli-ahli Yang Berhormat, masalah di hadapan Majlis adalah rang udang-undang bernama suatu akta untuk meminda Akta Perlindungan Saksi 2009 dibacakan kali yang kedua sekarang dan terbuka untuk dibahas.

Ahli-ahli Yang Berhormat, di hadapan saya, ada seramai 12 orang yang hendak berbahas. Maka, saya membuat ketetapan bahawa masa yang diberikan adalah 15 minit seorang.

Sekarang saya persilakan, Dato’ Setia Salehuddin bin Saidin yang saya tahu akan memerlukan lebih daripada 15 minit. Silakan.

[Ketawa]

draft12:20 PM

Dato’ Setia Salehuddin bin Saidin

Ramai orang yang berpantun, mulakan dengan pantun. Pagi ini saya nak mulakan dengan pantun juga. Jangan marah ya Yang Berhormat.

Rakyat Malaysia hidup bersama, Pelbagai kaum juga agama; Undang-undang dipinda kebaikan semua, Keselesaan rakyat matlamat utama. Datuk Yang di-Pertua, pertama-tama sekali saya mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Timbalan Menteri di atas pembentangan berkaitan dengan pindaan kepada Akta Perlindungan Saksi 2009. Dan kita tahu bahawa pindaan yang terlibat pada hari ini hanyalah yang berkaitan dengan perluasan akses saksi yang tiada keupayaan di sisi undang- undang dan juga— antara lain juga penambahan bantuan psikologi tanpa mengubah dasar utama kepada peruntukan yang sedia ada di dalam Akta Perlindungan Saksi 2009.

Perkara pertama yang saya ingin tanyakan kepada pihak Yang Berhormat Timbalan Menteri— tadi Timbalan Menteri ada memberikan data berkaitan dengan berapa ramaikah saksi-saksi yang telah pun masuk di dalam Program Perlindungan Saksi ini dan diberikan kadarnya semakin meningkat bermula tahun 2020 hinggalah ke tahun 2026.

Saya tak pastilah sama ada kali pertama, sebab saya mencari juga data-data ini di dalam rekod-rekod yang ada. Saya tidak berjumpa. Cuma apa yang saya nak mintakan sedikit penjelasan daripada pihak Yang Berhormat Timbalan Menteri, berkaitan dengan jumlah yang ada sekarang ini adalah mereka yang menyertai program tersebut.

Soalan saya, berapakah permohonan yang dibuat oleh mereka ini untuk mendapatkan perlindungan— untuk mendapat perlindungan di dalam program ini? Sebab di dalam undang- undang asas, undang-undang prinsipal ini, memang ada peruntukan yang mengatakan bahawa pemohon ataupun saksi boleh memohon dan kriteria untuk dipersetujukan oleh— diberikan kuasa ini kepada pihak Ketua Pengarah dan juga Peguam Negara dan kalau ada rayuannya pergi kepada pihak Menteri.

Jadi persoalannya, ada saksi yang tidak diterima masuk ke dalam program ini yang saya percaya faktornya, antaranya, mungkin disebabkan mungkin saksi ini tidak kritikal ataupun mungkin ianya melibatkan perbelanjaan yang tinggi. Sebab bukan senang ya di dalam undang-undang ini bila kita berikan perlindungan kepada saksi, ianya mencakupi soal nak menjaga saraan terhadap diri dia, rumah dia, perlindungan kepada dia dari segi pekerjaan, tempat dia tinggal, tempoh masa untuk beliau dilindungi dan sebagainya.

Jadi, mungkin melibatkan perbelanjaan yang tinggi. Jadi, balik kepada persoalan selain daripada jumlah mereka yang ditolak permohonannya, adakah setakat ini semenjak tahun 2009, kerajaan ada membentangkan ke Parlimen tentang kejayaan ataupun adakah program ini mencapai objektifnya? Iaitu untuk melindungi saksi agar saksi-saksi ini dapat memberikan keterangan yang tanpa takut, tanpa ragu-ragu, di dalam kes-kes yang melibatkan pendakwaan kes besar.

Seperti contohnya, kes yang melibatkan sindiket dadah yang besar, kes yang melibatkan kehadiran pelawat-pelawat asing yang boleh menggugat kedaulatan negara.

Semacam kita tahu, baru-baru ini ada isu berkaitan dengan Network School yang melibatkan kehadiran mereka yang dikatakan daripada negara yang tidak sepatutnya hadir ke sini. Ini semua isu-isu yang melibatkan kedaulatan negara dan andai kata ada pihak yang terlibat, didakwa di mahkamah, saksi-saksi ini adalah saksi-saksi yang kritikal yang perlukan perlindungan.

Jadi, persoalan baik kepada yang asal tadi, adakah kerajaan pernah membentangkan jumlah mereka yang memohon dan berapakah yang telah ditolak dan apakah sebab-sebab mereka ini ditolak? Dan, adakah sebenarnya program ini mencapai objektif seperti yang diharapkan oleh pihak kerajaan melalui peruntukan Akta Perlindungan Saksi 2009? Itu isu yang pertama.

Isu yang kedua. Ini berkaitan dengan sejauh manakah berkesannya undang-undang ini untuk melindungi saksi? Sebab kita tahu di bawah peruntukan yang sedia ada, peruntukan induk dia kata dia beri perlindungan kepada saksi. Of course, di bawah seksyen 2 ada diberikan tafsiran tentang siapakah saksi tersebut? Saksi tersebut mencakupi mereka yang terlibat secara langsung dalam kes tersebut yang boleh memberikan keterangan di mahkamah ataupun Tribunal Jenayah dan sebagainya yang melibatkan kes-kes jenayah.

Jadi, saksi ini boleh dilindungi. Bagaimana dengan keluarga saksi? Sebab kita tahu bahawa saksi ini kadang-kadang dia bukan sahaja takut atas keselamatan diri dia, dia juga takut tentang keselamatan terhadap keluarga dia. Isteri, spouse dia, anak-anak dia, di mana anaknya sekolah. Kadang-kadang kalau ia melibatkan sindiket yang besar, besar kemungkinan anak-anak yang berada di sekolah anak-anak kepada saksi ini akan diugut dan akan menjejaskan juga keselamatan mereka, yang menyebabkan saksi ini takut untuk tampil ke hadapan memberikan keterangan.

Walaupun di dalam peruntukan yang asal ini, ada peruntukan mengatakan bahawa saksi termasuk juga hubungan kekeluargaan, namun demikian ia nya tidak menceritakan tentang sejauh manakah kriteria yang boleh diterima oleh pihak kementerian terhadap mereka yang memohon untuk perlindungan saksi, keluarga kepada saksi tersebut. Datuk nak bertanya? Silakan.

draft12:30 PM

Datuk Wira Dr. Mohd Hatta bin Md Ramli

Terima kasih.

draft12:30 PM

Dato’ Setia Salehuddin bin Saidin

Saya belum sempat apa, dah bertanya dah.

draft12:30 PM

Timbalan Yang di-Pertua

Sepatutnya saya bagi kebenaran untuk mencelah.

draft12:30 PM

Datuk Wira Dr. Mohd Hatta bin Md Ramli

Boleh?

draft12:30 PM

Dato’ Setia Salehuddin bin Saidin

Sepatutnya minta kebenaran daripada Datuk Speaker.

draft12:30 PM

Timbalan Yang di-Pertua

Tapi telah didahului tak apa lah, kerana YB. Hatta, saya benarkan.

draft12:30 PM

Datuk Wira Dr. Mohd Hatta bin Md Ramli

Satu penghormatan. Terima kasih Yang di-Pertua. Saya pun tak berapa pasti, bukan bidang saya lah bab undang-undang ini. Walaupun kita di sini buat undang-undang. Bila disebut perlindungan saksi, bukankah ia nya melibatkan kerahsiaan tentang saksi?

Kalau saksi itu dirahsiakan, maka sudah tentu keluarga dan mereka yang berkaitan juga terhindar daripada maklumat awam dan mereka sentiasa terlindung dengan peruntukan yang sedia ada ini. Apakah pandangan saya itu munasabah ataupun tersasar?

draft12:30 PM

Dato’ Setia Salehuddin bin Saidin

Terima kasih kepada Yang Berhormat Hatta.

Itulah sebenarnya matlamat asal kewujudan Akta Perlindungan Saksi. Sebab kita nak memastikan bahawa saksi tersebut hadir dengan berani tanpa ketakutan. Sebab kalau sekiranya keluarga mereka terdedah kepada elemen-elemen ancaman oleh para penjenayah, bermakna the very aim of this act been defeated, dengan izin.

Jadi, disebabkan itulah maka saya mencadangkan kalau juga saya nak mendapatkan penjelasan daripada pihak Yang Berhormat Menteri, sama ada peruntukan yang sedia ada ini juga memberikan peruntukan yang mencukupi bagi perlindungan kepada keluarga kepada saksi. Sebabnya, bila kita ada sesuatu pindaan yang kita buat, seharusnya kita lihat kepada aspek yang lebih menyeluruh.

Mungkin setiap kali kita meminda undang-undang, tujuan pindaan dibuat adalah kerana undang-undang yang sedia ada mungkin perlu dipinda melihat kepada keadaan semasa. Jadi, keadaan semasa kalau kita sekadar memikirkan bahawa pindaan yang perlu dibuat adalah berkaitan dengan latihan psikologi ataupun melihat— memberikan ruang kepada mereka yang berumur bawah 18 tahun dan juga OKU dan sebagainya, tetapi ruang yang lebih luas kita tidak fikirkan untuk kita masukkan di dalam pindaan yang sedia ada.

Adakah kemudian apabila kita nak— dah suarakan perkara ini kita sedar bahawa ini adalah satu kelompangan, maka baru kita nak masukkan pindaannya? Tidakkah boleh kita buat pindaan sekali gus? Supaya ia nya mencakupi ruang aspek yang lebih besar. Ini yang saya persoalkan sepertimana yang YB. Dr. Hatta. Memang itulah tujuan sebenar akta ini digubal bagi memastikan bahawa saksi dan juga mereka yang terlibat ada hubung kait dengan dia juga terlindung.

Seterusnya Yang Berhormat Datuk Speaker, saya ingin bercakap tentang isu perbezaan antara Witness Protection Act ini dan juga Whistleblower Act sebab kita ada dua peruntukan sekarang.

draft12:30 PM

Dato’ Setia Salehuddin bin Saidin

Whistleblower Act ini baru sahaja diperkenalkan. Persoalan saya, dia ada dua situasi.

Satu, di mana di bawah Whistleblower Act, kita ada saksi yang— bukan saksi, dia ini adalah pemberi maklumat kepada sesuatu kejadian jenayah dan pemberi maklumat ini dilindungi.

Baik, apabila mereka dilindungi di bawah Whistleblower Act, apabila kemudiannya kes tersebut di build up, dia jadi satu kes yang dibawa— dituduhkan di mahkamah. Then, informer itu tadi ataupun mereka yang memberi maklumat tersebut akan terlibat secara langsung untuk memberikan keterangan di mahkamah.

Now, kalau kita lihat dua peruntukan yang berbeza. Whistleblower Act hanya sekadar memberi protection ketika information diberikan, tetapi the moment dia masuk ke era bahawa dia menjadi saksi di mahkamah, dia terpaksa pula membuat satu permohonan di bawah akta yang berbeza untuk mendapatkan perlindungan.

Jadi isunya sekarang, kenapa tidak Whistleblower Act dan juga Witness Protection Act itu kita gabungkan sekali menjadi satu undang-undang yang lengkap, yang saling lengkap- melengkapi. Bila ada satu peruntukan yang berkaitan dengan the first stage information diberikan dan dia dapat perlindungan automatically apabila dia menjadi saksi ke dalam kes di mahkamah nanti, dia juga diberi perlindungan di bawah Program Perlindungan Saksi di bawah akta yang sama. Mungkin pihak Yang Berhormat Menteri boleh fikirkan peruntukan— dua peruntukan berbeza ini digabungkan untuk menjadi satu undang-undang yang komprehensif.

draft12:40 PM

Datuk Nelson W Angang

[Bangun]

draft12:40 PM

Dato’ Setia Salehuddin bin Saidin

Sila. Boleh, Datuk?

draft12:40 PM

Timbalan Yang di-Pertua

Silakan, Dato’ Salehuddin. Ada 20 minit lagi ya.

draft12:40 PM

Datuk Nelson W Angang

Okey, terima kasih YB...

draft12:40 PM

Timbalan Yang di-Pertua

Siapa-siapa— tidak. Ini tawaran untuk nak mencelah.

Silakan, Datuk.

[Ketawa]

draft12:40 PM

Datuk Nelson W Angang

Berdasarkan kepada yang dijelaskan tadi oleh Yang Berhormat Senator berkaitan dengan Whistleblower Act dengan Witness Protection Act ini.

Adakah Yang Berhormat Senator bersetuju jika dilihat kepada Akta Witness Protection Act ini, dilihat keputusan akhir masih kepada pihak Menteri?

Namun, jika kita pertimbangkan Perkara 145, Perlembagaan Persekutuan yang mana menyatakan kuasa untuk memutuskan sama ada sesuatu kes itu dibawa ke mahkamah ataupun ditamatkan adalah di bidang kuasa AG. Dan juga kita pertimbangkan niat kerajaan pada waktu ini yang ingin memisahkan kuasa di antara eksekutif dengan AG dan juga pendakwa raya.

Berdasarkan cadangan-cadangan tadi itu, adakah Yang Berhormat Senator bersetuju jika dikatakan bahawa niat-niat yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan dan niat yang ingin dikemukakan oleh pihak kerajaan pada waktu ini, kuasa untuk membuat keputusan itu perlulah konsisten, yang mana ianya di bawah kuasa AG atau pendakwa raya.

Dan walaupun kita mengatakan sedemikian, mungkin keperluan untuk membuat satu keputusan itu bergantung bukan semata-mata kepada kuasa AG, tetapi juga kepada situasi sepertimana Yang Berhormat Senator mengatakan, di bawah Whistleblower Act ini adalah kes- kes yang penting, yang mana identiti pemberi maklumat atau pengadu ini perlu dilindungi.

Maka, mungkin ini antara kriteria-kriteria yang perlu dibawa ke dalam Witness Protection Act yang bukan setakat budi bicara tetapi mereka perlu dilindungi. Kerana kuasa itu kalau diberikan kepada seorang sahaja tanpa mempunyai kriteria pun, memang kita pun ada kekhuatiran yang wujud. Terima kasih.

draft12:40 PM

Dato’ Setia Salehuddin bin Saidin

Terima kasih atas pencelahan YB. Datuk Nelson.

Kalau itu merupakan satu kenyataan daripada YB., saya setuju, tetapi kalau ia nya juga satu persoalan kepada saya, saya ingin— izinkan saya untuk menjawab sedikit.

draft12:40 PM

Timbalan Yang di-Pertua

Silakan.

draft12:40 PM

Dato’ Setia Salehuddin bin Saidin

Itu berkaitan dengan kuasa Peguam Negara di bawah 145, Perlembagaan Persekutuan, yang mana di bawah seksyen 9 pada peruntukan ini, peruntukan Akta Perlindungan Saksi— maafkan saya. Seksyen 10 menyatakan bahawa apabila Ketua Pengarah bawa kepada Peguam Negara, kriteria-kriteria yang boleh diterima masuk— seseorang nak masuk ke dalam Program Protection Act ini, Peguam Negara membuat keputusan, tetapi bila Peguam Negara membuat keputusan menolak, ianya boleh dirayu kepada Menteri— seorang Menteri, ini dibangkitkan oleh YB. Nelson tadi.

Persoalannya, kenapa pula Menteri pula sebagai kuasa yang menerima rayuan?

Sedangkan kuasa itu sepatutnya diletakkan kepada Peguam Negara sebab Peguam Negara adalah seorang pemegang kuasa yang tertinggi di Malaysia ini dalam hal-hal yang berkaitan dengan undang-undang. Dan 145 itu jelas menyatakan bahawa, “The AG has got the power to continue, to commence, to discontinue”, dengan izin, segala isu-isu yang berkaitan dengan pendakwaan.

Jadi oleh itu, tidak bersesuaian lah— mungkin boleh dilihat semula peruntukan di bawah seksyen 10. Dan seksyen 10 ini tentang kuasa Menteri untuk menerima rayuan daripada pemohon setelah ditolak oleh pihak Peguam Negara. Ini adalah satu peruntukan yang saya rasa mungkin kurang tepat dan mungkin kita dapat kaji semula. Dan kalau berkesempatan untuk meminda juga peruntukan sedemikian supaya kuasa yang sebenarnya diberikan kepada Peguam Negara. Terima kasih kepada YB. Nelson.

Seterusnya, saya ingin berhujah berkaitan dengan isu exit strategy. Ini bermaksud, kita dah ada satu program yang mana saksi ini masuk ke dalam Program Perlindungan Saksi. Now, tempoh masa dia. Katakanlah dia ini seorang yang amat penting dalam isu yang melibatkan satu sindiket besar, mungkin sindiket antarabangsa dan identiti dia amat penting untuk kita lindungi.

Now, katakanlah ditakdirkan keputusan kes telah dibuat, mungkin tertuduh telah terlepas (acquitted) dan dia masih bawah perlindungan. Sejauh manakah dia akan dilindungi?

Sebabnya, dia dikhuatiri— katakanlah pada tempoh setahun selepas perbicaraan selesai, dia dilepaskan dan tidak lagi bersama dengan rumah perlindungan. Adakah keselamatan saksi ini terjamin? Disebabkan tidak ada proper exit strategy daripada peruntukan yang sedia ada.

Mungkin dah ada di bawah kaedah yang dibuat oleh Menteri sepertimana seksyen 30 di dalam undang-undang ini ada menyatakan tentang Menteri boleh membuat peraturan.

Namun yang lebih pentingnya, ia nya memerlukan satu peruntukan asas di dalam akta ibu itu sendiri bagi memastikan bahawa seseorang saksi apabila tempoh tamat memberikan keterangan, dia akan terus dilindungi. Tetapi saya faham bahawa kerajaan juga perlu memikirkan tentang kos yang tinggi untuk membiayai seseorang saksi. Sampai bilakah perlu protection tersebut diberikan?

Jadi, ini juga perlu dikupas, perlu diteliti oleh pihak kerajaan bagi memastikan bahawa aspirasi dan tujuan asal kepada peruntukan Akta Perlindungan Saksi ini dapat kita manfaatkan dan mencapai kepada objektifnya. Dan kita juga kena ingat ya, bila kita bercakap tentang seseorang saksi yang tempoh masanya memberikan keterangan, ada juga keadaan yang mana nama saksi ini ditukar— nama ditukar dalam tempoh dia dalam perlindungan. Selepas dia dah tamat tempoh memberikan keterangan, adakah dia nak pakai nama lama ataupun nama baru? Macam mana kita nak buat itu? Siapa yang menentukan? Sebab identiti ini telah tukar.

Jadi, bila dia nak balik kepada nama asal, adakah ada proper channel, proper procedure untuk dia menukarkan kepada nama yang asal. Sebab kena ingat, sebab bila kita cakap fasal identiti ini— sebab kita nak lindung dia. Bukan sahaja kita nak lindung dia dari segi keselamatan dia duduk di satu rumah dan sebagainya tetapi kita juga kena lindungkan identiti nama dia, muka dia, keluarga dia dan sebagainya. Dan itu disebabkan undang-undang itu membenarkan pertukaran nama dilakukan, pertukaran alamat berlaku. Maka, apabila tempoh tersebut tamat, bagaimana keadaan saksi ini? Boleh tak dia balik kepada nama yang asal?

Jadi, ini antara faktor yang saya rasa perlu sangat pihak kerajaan fikirkan. Dan of course yang terakhir sekali, berkaitan dengan pengecaman wajah (facial recognition), dengan izin, kepada seseorang saksi ini. Kita tahu bahawa dalam era digital moden ini, dalam era teknologi, dalam era IT ini, facial recognition ini boleh berlaku walaupun kita selindung dia.

Sebab melalui AI, dia dah semak melalui data-data berkaitan dengan saksi ini, mungkin pernah keluar sekali sekala dalam sosial media dan sebagainya. Dengan penggunaan teknologi moden, dengan AI, digital dan sebagainya, dia boleh dikesan.

draft12:40 PM

Dato’ Setia Salehuddin bin Saidin

Jadi, sejauh manakah juga kita memikirkan tentang perlindungan kepada saksi ini dalam hal-hal yang melibatkan pengecaman wajah melalui facial recognition menggunakan teknik AI ini. Jadi, ini juga― saya sendiri pun tak dapat nak berikan cadangan sebab ini adalah merupakan satu perkara baru yang mungkin kita juga kena fikirkan.

Bukan sekadar memikirkan cara konvensional tetapi cara terbaru ini yang mana pihak penjenayah ini boleh saja mengenal pasti dengan cara-cara teknik moden ini. Jadi, ini juga saya mohon pihak Timbalan Menteri dapat pertimbangkan dan dapat memberikan sedikit pencerahan kepada persoalan yang saya bangkitkan.

Itu sahaja yang sempat saya bahas.

draft12:50 PM

Timbalan Yang di-Pertua

Dato’, saya nak cadangkan. Masa tinggal 9 minit lagi. Lebih baik Dato’ habiskan sampai pukul 1 saja, senang. Saya tahu Dato’ memang sebenarnya nak habiskan, ada lagi point tu.

draft12:50 PM

Dato’ Setia Salehuddin bin Saidin

Yang Berhormat Dr. Hatta tak bagi saya habiskan.

Baik, saya boleh teruskan kalau Yang Berhormat Datuk izinkan.

draft12:50 PM

Timbalan Yang di-Pertua

Dia dah bersedia dah...

[Ketawa]

draft12:50 PM

Dato’ Setia Salehuddin bin Saidin

Baik. Seterusnya, saya nak bercakap tentang rekod seseorang saksi. Kita tahu, kita sebagai rakyat Malaysia ini, kita punya rekod ada di mana-mana. Kita ada dekat LHDN, kita ada dekat KWSP, kita ada juga rekod perubatan, kita ada juga pemilikan harta, tanah dan sebagainya. Kadang-kadang saksi ini― saksi ini kalau dia terlibat dalam kes-kes besar, contohnya kes SPRM, kes SPRM pastinya saksi yang terlibat itu adalah merupakan orang yang memainkan peranan penting.

Jadi, kalau dia memainkan peranan penting, pastinya dia ada kedudukan dan pastinya dia ini ada harta. Bila dia ada harta, of course, segala maklumat berkaitan dengan harta dia, segala maklumat berkaitan dengan simpanan dia memang akan ada di merata-rata.

Jadi, kalau kita tidak memikirkan secara holistik segala tindakan bagi melindungi saksi tersebut, bermakna ianya juga akan menyebabkan tujuan dan objektif asal kewujudan akta ini tidak tercapai. Sebabnya, pihak sindiket boleh saja masuk kepada ruang-ruang untuk melihat di manakah tinggalnya, di manakah adanya harta saksi-saksi ini untuk mereka penetrate, untuk mereka memberikan ugutan kepada saksi ini.

Sebab, kita kena ingat ya, dalam memberikan keterangan di mahkamah, sekiranya saksi penting tidak dapat memberikan keterangan disebabkan oleh ugutan, disebabkan oleh takut dan sebagainya, the element of the offence ataupun segala inti pati keterangan yang perlu dibuktikan di mahkamah tidak akan dapat diperolehi tanpa keterangan saksi. Sebab, you must understand, information is one thing but evidence in court is another thing, because that is what the court is going to consider.

Mahkamah tak boleh nak consider isu-isu yang didengar, hearsay evidence daripada akhbar, daripada media sosial. Dia memerlukan keterangan yang admissible, keterangan yang relevan di mahkamah yang diberikan oleh saksi. Jadi, saksi ini sendiri perlu dia ada kelapangan dalam fikiran dia untuk memberikan keterangan tanpa sebarang desakan, tanpa sebarang ketakutan.

Desakan juga satu perkara yang juga perlu kita fikirkan. Kadang-kadang pihak yang sini pula dia mendesak. Bila kita bagi protection, “You have to give evidence in our favor”. Itu kemungkinan berlaku. Jadi, ini juga perlu kita fikirkan di samping kita memikirkan bahawa dia akan terima ugutan daripada para penjenayah tetapi pihak yang melindungi dia juga boleh secara tidak langsung menekan beliau untuk memberikan keterangan memihak kepada pihak yang memanggil dia.

Oleh itu, Dato' Yang di-Pertua...

draft12:50 PM

Puan Tiew Way Keng

[Bangun]

draft12:50 PM

Dato’ Setia Salehuddin bin Saidin

Sila.

draft12:50 PM

Timbalan Yang di-Pertua

Silakan.

draft12:50 PM

Puan Tiew Way Keng

Terima kasih, Datuk Yang di-Pertua. Jadi, saya ingin tanya Yang Berhormat. Bahawa apakah pandangan Yang Berhormat sekiranya bagi seseorang yang terlibat langsung dalam rasuah, kemudian bertindak sebagai pemberi maklumat dan berkemungkinan besar akan dijadikan saksi, sama ada permohonan untuk mendapatkan perlindungan di bawah program perlindungan saksi patut diberikan atau tidak?

draft12:50 PM

Dato’ Setia Salehuddin bin Saidin

Soalan itu sama ada patut atau tidak. Di dalam akta ini sendiri dah ada peruntukan dia mengatakan bahawa pihak Ketua Pengarah mempunyai budi bicara untuk mengambil segala maklumat bagi menentukan sama ada dia layak untuk mendapatkan perlindungan.

Jadi, antara faktor yang boleh kita ambil berat untuk membenarkan seseorang itu layak menerima perlindungan adalah faktor bahawa keterangan dia adalah keterangan yang kritikal.

Without his evidence, dengan izin, mahkamah tidak boleh mensabitkan orang yang dituduh.

Jadi, itu antara faktor yang paling penting untuk ketua pengarah dan subsequently AG untuk menentukan sama ada dia layak mendapat perlindungan ataupun sebaliknya.

draft12:50 PM

Puan Tiew Way Keng

Mohon celah. Ada masa lagi.

draft12:50 PM

Timbalan Yang di-Pertua

Boleh, boleh, boleh.

draft12:50 PM

Puan Tiew Way Keng

Terima kasih, Datuk Yang di-Pertua. Isu kenapa saya bangkitkan isu ini sebab memang ada kes yang hangat yang berlaku sebelum ini yang mana bagi pihak yang terlibat dalam rasuah ini, apabila pihak penawar gagal mendapat apa yang diperlukan, kemudian telah menggunakan prosedur ataupun undang-undang supaya ingin mendapat perlindungan di bawah program ini.

Pagi tadi Yang Berhormat ada berbahas berkenaan dengan apabila seseorang saksi telah diberi perlindungan di bawah program ini, sama ada dia menerima desakan ataupun pengaruh secara langsung atau tidak langsung untuk memberi keterangan yang berpihak kepada sesuatu pihak, bagaimana pula dengan kalau saksi berkenaan dia diberi perlindungan untuk memberi keterangan untuk menyerang mana-mana pihak sekiranya telah disepina atau dipanggil oleh pihak mahkamah? Sama ada ini merupakan satu penyalahgunaan proses mahkamah demi mencapai kepentingan diri sendiri? Terima kasih.

draft12:50 PM

Timbalan Yang di-Pertua

Itu satu soalan relevan itu kepada bekas pendakwa raya ini...

[Ketawa]

draft12:50 PM

Dato’ Setia Salehuddin bin Saidin

Mungkin relevan tetapi saya kurang faham soalan tersebut. Tapi, apa pun yang saya boleh cuba fahamkan, maksudnya dengan menggunakan peruntukan di bawah akta ini ada kemungkinan ia nya disalahgunakan. Is that what your question was? Okey.

Jadi, dalam soal ini, sebenarnya untuk seseorang saksi mewajarkan dia mendapat perlindungan, pastinya ada kenyataan dia direkodkan terlebih dahulu oleh pihak berkuasa sama ada pihak polis, pihak SPRM dan sebagainya. Jadi, based on the evidence ataupun statement yang direkodkan, di situlah Peguam Negara akan menilai sama ada witness ini kritikal, witness ini memberikan keterangan yang betul, yang benar dan barulah ditentukan, sama ada dia layak mendapatkan perlindungan.

Jadi, in that sense, walaupun saya ada mengatakan bahawa kemungkinan- kemungkinan adanya desakan, pressure daripada pihak kerajaan ataupun pihak yang memanggil saksi itu untuk memberikan keterangan favoring pihak yang memanggil, namun disebabkan adanya protection di bawah undang-undang itu sendiri untuk statement yang direkodkan terlebih dahulu, itu mungkin boleh dijadikan sebagai satu sandaran bagi memastikan bahawa keterangan mereka ini, saksi ini tidak disalahgunakan untuk faedah mereka yang membawa dia untuk menjadi saksi. That could perhaps be the answer to your question. Terima kasih. Jadi, berbalik kepada isu tadi― mana saya tadi ya? Saya pun dah terlupa dah...

[Ketawa]

draft12:50 PM

Timbalan Yang di-Pertua

Wah, soalan YB Tiew memang mendalam ya...

[Ketawa]

draft12:50 PM

Dato’ Setia Salehuddin bin Saidin

Okey, berbalik kepada isu berkaitan dengan saksi itu tadi bila dia memberikan keterangan, keterangan tersebut adalah keterangan yang sepatutnya boleh membawa kepada pembuktian sesatu keterangan, sesatu tuduhan.

Maka disebabkan itulah kenapa saya menyatakan bahawa assessment terhadap mereka yang layak untuk mendapat perlindungan ini bukan sekadar keselamatan dia tetapi juga memastikan bahawa keterangan yang diberikan tersebut adalah very crucial to improving the element of the offence sepertimana yang dipertuduhkan terhadap offender. Saya rasa itu sahaja yang saya dapat bahaskan pada pagi ini. Terima kasih Datuk Speaker di atas kesempatan yang diberikan.

draft12:50 PM

Timbalan Yang di-Pertua

Terima kasih atas kerjasama Dato’ Salehuddin.

draft12:50 PM

Dato’ Setia Salehuddin bin Saidin

Terima kasih.

draft12:50 PM

Timbalan Yang di-Pertua

Jam pun dah 12.59. YB Tiew, saya nak jemput YB Tiew untuk mula bahas tapi pembukaannya lah dan kita sambung pada jam 2.30 nanti. Tak payah pun. Dah pukul 1 pun...

[Ketawa] Perbahasan akan disambung pada jam 2.30 nanti dengan YB. Tiew ya sebagai pembahas pertama pada petang karang.

Ahli-ahli Yang Berhormat, mesyuarat Dewan ini ditempohkan dan akan bersambung semula pada jam 2.30 petang.

draft12:50 PM

[Mesyuarat ditempohkan pada pukul 1.00 tengah hari]

[Mesyuarat disambung semula pada pukul 2.30 petang]

Timbalan Yang di-Pertua

[Timbalan Yang di-Pertua mempengerusikan Mesyuarat]

draft2:30 PM

Timbalan Yang di-Pertua

Sesi perbahasan disambung semula dengan saya menjemput YB. Senator Puan Tiew Way Keng.

draft2:30 PM

Puan Tiew Way Keng

Terima kasih Datuk Yang di-Pertua kerana memberikan saya peluang untuk mengambil bahagian dalam perbahasan RUU Perlindungan Saksi (Pindaan) 2026 ini. Saya bangun untuk menyokong RUU ini kerana perlindungan saksi bukan sekadar isu keselamatan individual. Ia adalah soal sama ada sistem keadilan negara kita mampu mendapatkan kebenaran mendakwa penjenayah dan melindungi orang yang berani tampil membantu negara pada masa yang sama, tidak disalahgunakan.

Dalam banyak kes jenayah terancang, rasuah, pemerdagangan manusia, sindiket penipuan, keganasan seksual dan jenayah rentas sempadan, bukti dokumen sahaja tidak mencukupi. Kita memerlukan saksi-saksi yang penting khususnya bagi mereka yang terlibat secara langsung dalam kes-kes jenayah termasuk mangsa, tetapi seseorang saksi akan bertanya, sekiranya saya bercakap benar, siapakah yang akan melindungi saya, pasangan saya, anak-anak saya dan masa depan keluarga saya? Sekiranya negara tidak dapat memberikan jawapan yang meyakinkan, saksi akan memilih untuk berdiam diri. Apabila saksi takut, penjenayah menjadi semakin berani dan keadilan akhirnya menjadi hak mereka yang mempunyai kuasa, wang dan pengaruh.

Rang undang-undang ini antara lain memperluas permohonan bagi saksi yang tiada keupayaan di sisi undang-undang, memperkenalkan perjanjian bertulis, menyediakan bantuan psikologi dan kaunseling, membenarkan bantuan selepas penamatan program serta memberikan kuasa kepada ketua pengarah untuk mengeluarkan perintah tetap. Namun, saya ingin mengemukakan lima perkara utama supaya pindaan ini bukan sahaja baik di atas kertas, tetapi benar-benar berfungsi apabila nyawa seseorang berada dalam bahaya.

Pertamanya, perlindungan mestilah memulihkan kehidupan bukan sekadar menyembunyikan saksi. Saya menyambut baik pindaan kepada subseksyen 13(2) yang memasukkan bantuan psikologi termasuk kaunseling. Saya juga menyokong subseksyen baru 16(12) dan 16(13) yang membolehkan bantuan diteruskan selepas penamatan program termasuk penempatan semula bantuan kewangan, bantuan psikologi dan bantuan pekerjaan.

Ini adalah penting kerana ancaman terhadap saksi tidak tamat pada hari perbicaraan selesai.

Seseorang peserta mungkin kehilangan rumah, pekerjaan, hubungan kekeluargaan, komuniti dan identiti asalnya.

Anak-anak peserta mungkin terpaksa bertukar sekolah, pasangan peserta mungkin kehilangan pendapatan. Mereka mungkin mengalami trauma, kebimbangan dan ketakutan yang berpanjangan. Di negara Kanada, takrif perlindungan secara jelas merangkumi penempatan semula, tempat tinggal, pertukaran identiti, kaunseling dan bantuan kewangan untuk membantu seseorang membina semula kehidupan serta menjadi berdikari.

Di Australia pula, bantuan boleh meliputi perbelanjaan hidup keluarga, pendidikan, pekerjaan dan langkah untuk menjadikan peserta mampu menyara diri. Undang-undang Australia turut membenarkan bantuan kepada bekas peserta dan orang yang mempunyai hubungan dengannya apabila perlindungan masih diperlukan. Justeru, saya mencadangkan agar bantuan selepas program tidak terhad kepada peserta sahaja. Ia hendaklah turut meliputi pasangan, anak, penjaga dan tanggungan yang telah dipindahkan atau terdedah kepada ancaman akibat kerjasama saksi tersebut.

Saya juga meminta kerajaan memperkenalkan pelan peralihan individual bagi setiap peserta yang hendak keluar daripada program merangkumi penilaian risiko, tempat tinggal, pekerjaan, pendidikan anak, rawatan psikologi dan pemantauan susulan. Kita tidak boleh menyelamatkan nyawa seseorang hari ini, tetapi membiarkan keseluruhan hidupnya runtuh pada hari esok.

Cadangan kedua adalah perjanjian perlindungan mestilah adil dan mengikat kedua-dua pihak. Seksyen baru 10A mengehendaki peserta menandatangani perjanjian. Perjanjian itu boleh mengandungi terma perlindungan, kewajipan peserta untuk tidak menjejaskan keselamatan program dan kewajipan mematuhi arahan munasabah daripada ketua pengarah.

Saya bersetuju bahawa peserta juga mempunyai tanggungjawab. Program ini tidak boleh berfungsi sekiranya peserta membocorkan lokasi, menghubungi pihak yang mengancamnya atau sengaja melanggar protokol keselamatan. Namun, saya menarik perhatian Dewan yang mulia ini kepada perkataan ‘boleh mengandungi’ yang didapati dalam subseksyen 10A(3) ini.

Persoalannya, apakah terma minimum yang wajib dimasukkan? Apakah kewajipan kerajaan, apakah jenis bantuan, tempoh, mekanisme aduan, proses semakan dan tanggungjawab sekiranya berlaku kegagalan keselamatan. Di negara Kanada, perjanjian perlindungan dianggap mengandungi kewajipan pihak berkuasa untuk mengambil langkah munasabah bagi memberikan perlindungan yang dijanjikan. Di Australia pula, memorandum persefahaman mesti menyatakan asas kemasukan, butiran perlindungan dan bantuan serta aturan sokongan kewangan dan tanggungjawab peserta.

Oleh itu, saya mencadangkan subseksyen 10A(3) ini diperkukuh daripada ‘boleh mengandungi’ kepada ‘hendaklah mengandungi’ sekurang-kurangnya bagi perkara-perkara asas yang dibentangkan tadi. Sebelum perjanjian ditandatangani, peserta juga hendaklah diberikan penerangan dalam bahasa yang difahami, jurubahasa atau bantuan komunikasi jika diperlukan, masa munasabah untuk memahami terma dan akses kepada nasihat undang- undang bebas dalam kes yang kompleks.

Bagi kanak-kanak atau individual yang tiada keupayaan di sisi undang-undang, kita juga perlu memastikan kepentingan penjaga tidak bercanggah dengan kepentingan saksi.

Dalam kes-kes tertentu, penjaga itu sendiri mungkin mempunyai kaitan dengan orang yang disiasat. Maka, adalah perlu mewujudkan ruang untuk melantik wakil atau advokat bebas demi kepentingan terbaik bagi saksi.

Bagi cadangan yang ketiga iaitu penamatan perlindungan mestilah mematuhi keadilan prosedur. Rang undang-undang ini menambah alasan baru untuk penamatan apabila peserta dengan sengaja melanggar mana-mana terma atau syarat. Perkataan ‘Mana-mana terma’ adalah terlalu luas. Adakah sesuatu kesalahan teknikal yang kecil boleh menyebabkan perlindungan ditamatkan walaupun ancaman pembunuhan masih wujud? Di negara Kanada menggunakan piawaian yang lebih seimbang iaitu perlanggaran mestilah disengajakan dan adalah penting. Sebelum penamatan, peserta mesti diberi notis dan peluang memberi representasi. Hak pendengaran harus diberikan. Pihak berkuasa juga perlu memberikan alasan bertulis supaya peserta memahami asas keputusan tersebut.

draft2:32 PM

Puan Tiew Way Keng

Di Australia pula, tempoh masa 28 hari diberikan untuk permohonan semakan dan peserta mestilah diberi peluang munasabah untuk menyuarakan alasan ataupun representasinya.

Saya mencadangkan fasal dalam perenggan 16(1)(ca) dipinda kepada peserta itu dengan sengaja dan secara material melanggar mana-mana terma atau syarat perjanjian setelah mengambil kira tahap keseriusan pelanggaran, risiko keselamatan yang masih wujud dan prinsip perkadaran diambil kira.

Memang benar bahawa di mekanisme sedia ada peserta yang terkilan boleh merayu secara bertulis kepada Menteri. Namun, perlindungan keselamatan asas hendaklah diteruskan sementara rayuan diputuskan jika penilaian risiko menunjukkan ancaman masih wujud.

Subseksyen baharu 16(12), menggunakan perkataan Ketua Pengarah boleh. Boleh perkataan itu, terus memberikan bantuan selepas pemberitahuan penamatan. Saya mencadangkan perkataan ‘boleh’ itu boleh ditukarkan ‘hendaklah’ sekurang-kurang bagi perlindungan kecemasan apabila masih terdapat ancaman yang nyata. Hak untuk merayu tidak bermakna sekiranya peserta diserang sebelumnya rayuannya sempat diputuskan.

Bagi cadangan keempat, ancaman moden memerlukan perlindungan digital dan kerjasama rentas sempadan. Datuk Yang di-Pertua, pada hari ini, lokasi seseorang tidak hanya dibocorkan melalui alamat rumah. Lokasi boleh dikenal pasti melalui media sosial, Meta, data gambar, rekod digital, nombor telefon, transaksi elektronik, pangkalan data yang bocor, pengecaman wajah atau aktiviti-aktiviti ahli keluarga. Oleh itu, perlindungan saksi pada tahun 2026 ini mestilah merangkumi keselamatan siber dan perlindungan jejak digital.

Perintah tetap yang akan dikeluarkan di bawah seksyen 29A hendaklah mempunyai protokol khusus tentang penggunaan media sosial oleh peserta dan keluarganya, penyimpanan serta akses kepada data peserta, respons terhadap kebocoran maklumat, audit keselamatan sistem, pengurusan identiti digital baharu dan latihan ancaman siber bagi pegawai perlindungan.

Di New Zealand, melindungi identiti baharu peserta melalui seksyen 118, Akta Keterangan 2026 yang menghalang saksi daripada dipaksa mendedahkan nama andaian atau maklumat yang boleh membongkar identiti baharunya dalam prosiding.

United Kingdom pula, membenarkan perlindungan dibuat secara bersama dan tanggungjawab dipindahkan antara penyedia perlindungan apabila seseorang berpindah kawasan. Sistemnya turut mengambil kira tahap risiko, kebolehan individu dan keluarganya menyesuaikan diri, kos perlindungan dan kepentingan keluarga dan saksi.

Di Malaysia juga perlu mempunyai kerangka perjanjian timbal balik dengan negara lain bagi kes pemerdagangan manusia, kes terancang dan sindiket rentas sempadan.

Australia dan Kanada telah menyediakan mekanisme menerima atau memindahkan saksi melalui aturan dengan negara asing dan institusi.

Cadangan kelima adalah kerahsiaan tidak boleh menjadi alasan untuk menolak akauntabiliti. Saya memahami bahawa operasi perlindungan saksi mesti dirahsiakan. Kita tidak boleh mendedahkan identiti lokasi ataupun kaedah operasi, tetapi kerahsiaan operasi tidak bermaksud program tidak boleh dipantau.

Australia mewajibkan laporan tahunan mengenai operasi, prestasi dan keberkesanan program dibentangkan kepada Parlimen tanpa menjejaskan keselamatan peserta.

Bagi Komanwel, ombudsman juga diberikan akses terkawal untuk tujuan siasatan dan pengawasan.

Kanada turut mewajibkan laporan operasi tahunan dikemukakan kepada Menteri dan dibentangkan di kedua-dua Dewan Parlimen.

Kerajaan sendiri telah menyenaraikan ketelusan, akauntabiliti, sokongan selepas perlindungan dan peningkatan kapasiti pegawai sebagai sebahagian daripada objektif reformasi akta ini.

Justeru, saya mencadangkan laporan tahunan tanpa identiti dibentangkan kepada Parlimen yang menyatakan sekurang-kurangnya jumlah permohonan, penerimaan dan penolakan, tempoh purata memproses permohonan, jumlah penamatan dan rayuan, kategori bantuan yang telah diberikan, perbelanjaan keseluruhan, bilangan insiden keselamatan, latihan dan kapasiti pegawai serta keberkesanan bantuan pekerjaan dan pemulihan peserta.

RUU ini sendiri menyatakan bahawa kerajaan akan menanggung perbelanjaan tambahan, tetapi jumlahnya masih belum dapat ditentukan.

Maka, saya meminta Menteri menjelaskan apakah peruntukan awal yang akan disediakan? Berapakah jumlah pegawai perlindungan, pakar psikologi dan kaunselor? Adakah terdapat perkhidmatan respons kecemasan 24 jam? Dan, apakah petunjuk prestasi yang akan digunakan untuk menentukan sama ada program ini benar-benar berkesan?

Datuk Yang di-Pertua, saksi bukan sekadar alat untuk mendapatkan sabitan. Saksi ialah manusia yang mempertaruhkan keselamatan keluarga dan seluruh masa depannya demi membantu negara menegakkan undang-undang.

Kita tidak boleh meminta seseorang supaya berani tampil berkata benar. Sedangkan negara sendiri gagal memberikan perlindungan yang menyeluruh, berterusan dan boleh dipercayai.

Saya menyokong RUU ini. Namun, pelaksanaannya perlu diperkukuhkan melalui perjanjian yang adil, perlindungan kepada ahli keluarga dan tanggungan, keadilan prosedur sebelum penamatan, perlindungan sementara sepanjang rayuan, keselamatan digital, kerjasama antarabangsa, pegawai bebas serta pelaporan yang berkala kepada Parlimen.

Apabila seseorang saksi dilindungi, bukan hanya satu nyawa yang diselamatkan. Yang sebenarnya kita mempertahankan ialah keberanian rakyat untuk bercakap benar. Kemampuan mahkamah menegakkan keadilan dan kewibawaan negara dalam memerangi jenayah. Izinkan saya mengakhiri perbahasan ini dengan serangkap pantun.

Pergi ke hulu mencari rotan, Rotan dianyam menjadi perisai; Saksi dilindung kebenaran dipertahankan, Undang-undang teguh keadilan tercapai. Dengan itu, saya menyokong RUU ini. Sekian, terima kasih.

draft2:40 PM

Timbalan Yang di-Pertua

Terima kasih, YB Tiew. Ada pantun juga akhir itu? Sekarang saya jemput YB Senator Datuk Dr. Haji Mustafa bin Musa.

draft2:40 PM

Datuk Dr. Haji Mustafa bin Musa

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Terima kasih, Tuan Yang di-Pertua. Saya bangun untuk menyokong Rang Undang-undang Perlindungan Saksi (Pindaan) 2026 kerana pindaan ini bukan sahaja memperkukuh sistem perundangan negara. Malah, meningkatkan keyakinan rakyat untuk tampil menjadi saksi dalam membantu menegakkan kebenaran dan keadilan. Saksi merupakan aset penting dalam sistem keadilan terutamanya dalam kes-kes jenayah berprofil tinggi. Tanpa keberanian, mereka tidak tampil memberi keterangan. Sesuatu kes mungkin gagal dibuktikan dan sekali gus menjejaskan keadilan kepada mangsa.

Tuan Yang di-Pertua, antara pindaan utama dalam rang undang-undang ini yang menarik perhatian saya ialah subseksyen 7(3) Akta Perlindungan Saksi 2009 [Akta 696] untuk membolehkan permohonan kemasukan ke dalam program ini dibuat oleh ibu atau bapa bagi pihak saksi yang tiada keupayaan di sisi undang-undang. Selain itu, pindaan seksyen 13(2) [Akta 696] dengan memasukkan bantuan psikologi termasuk kaunseling sebagai sebahagian daripada bantuan yang boleh diberi kepada peserta program.

Dalam kerangka perundangan Malaysia, Akta Perlindungan Saksi 2009 telah berkuat kuasa pada April 2010 bagi melindungi individu daripada ancaman dan juga ugutan apabila individu itu akan menjadi saksi bagi sesuatu siasatan dan perbincangan di mahkamah.

Dalam program atau skim perlindungan saksi ini, kerajaan memberi perlindungan kepada saksi bagi kes jenayah, rasuah, AMLA dengan memberi perlindungan identiti dan perlindungan keselamatan individu merentasi sokongan pelbagai agensi dan badan penguat kuasa dan semua langkah-langkah ini memerlukan kos serta integriti kerahsiaan yang amat tinggi.

Dalam pindaan akta ini, RUU ini, kerajaan memperkukuh akauntabiliti dan jaminan perlindungan keselamatan saksi dengan menzahirkan secara jelas bahawasanya perjanjian bagi program perlindungan saksi perlu ditandatangani secara konvensional bagi saksi kanak- kanak bawah 18 tahun dan saksi yang tidak berupaya secara perundangan.

draft2:47 PM

Datuk Dr. Haji Mustafa bin Musa

Dalam isu pemberian kuasa kepada ibu bapa, sebagai pihak berkepentingan dalam program perlindungan saksi, sejauh mana kerajaan dapat pastikan bahawa ibu bapa atau penjaga tidak mempengaruhi sikap dan kecenderungan sosial bagi jaminan integriti kesaksian bilamana saksi kanak-kanak ini atau kurang upaya perundangan ini merupakan suspek atau tersangka dalam kes atau perbicaraan di mahkamah.

Bagaimana cara dan langkah paling efektif bagi memastikan bahawa perjanjian program ini yang ditandatangani oleh ibu bapa atau penjaga memberi jaminan kesaksian dalam siasatan atau perbicaraan, tidak didorong oleh ibu bapa dan penjaga yang sememangnya mempunyai kepakaran dan kompetensi yang tinggi dalam aspek perundangan dan trik kekangan kes yang disiasat.

Tuan Yang di-Pertua, bilamana kita membuat perjanjian program perlindungan saksi, dinyatakan di bawah seksyen 10A(3) bahawa bentuk perjanjian perlu ada terma dan syarat.

Peserta perlu bersetuju dengan perjanjian ini, tidak menjejaskan keselamatan dan perlindungan serta bantuan agensi penguatkuasaan dan pematuhan perintah, SOP dan arahan secara munasabah.

Soalan saya, apakah perlu kerajaan menzahirkan bentuk-bentuk terma dan syarat secara berformat agar asas ini dapat difahami dengan jelas, sempadan dan had kekangan terma dan syarat perjanjian? Apakah penzahiran bentuk persetujuan dalam ruang lingkup keselamatan, perlindungan, bantuan dan pematuhan peserta kepada SOP dan perintah arahan secara munasabah tidak menjejas jaminan integriti dan sokongan saksi bawah umur atau kurang upaya perundangan menjadi saksi penting dalam kes jenayah dan rasuah agar sesuatu siasatan dan perbicaraan mahkamah akan lebih sempurna dan telus.

Tuan Yang di-Pertua, seperti yang telah saya nyatakan tadi, saya menyambut baik pindaan yang membolehkan ibu atau bapa membuat permohonan bagi pihak saksi yang tidak berkeupayaan. Golongan seperti kanak-kanak dan individu kurang upaya sering menjadi mangsa jenayah. Namun, mereka juga paling takut untuk tampil memberi keterangan. Dengan pindaan ini, hak mereka untuk mendapat perlindungan akan lebih terjamin.

Cadangan saya, mohon kementerian mempertimbangkan, wujudkan pegawai khas yang terlatih dan profesional, berpengalaman dan berkemahiran untuk mengendalikan saksi kanak-kanak. Menyediakan bilik temu bual dan prasarana yang sesuai dengan jiwa dan trauma serta ketakutan yang mungkin dialami oleh kanak-kanak itu supaya proses ini dapat dilaksanakan dengan baik lagi berkesan dan tidak menimbulkan stres, ketakutan yang lebih teruk kepada kanak-kanak yang menjadi saksi itu kelak.

Sokongan psikologi amat penting khususnya kepada kanak-kanak yang masih mentah dan rapuh jiwanya. Saya menyokong kemasukan bantuan psikologi dan kaunseling sebagai sebahagian daripada program perlindungan. Trauma bukan sahaja berlaku kepada mangsa, malah turut dialami oleh saksi yang mungkin menyaksikan kejadian jenayah di depan mata mereka. Oleh yang demikian, saya juga mohon mencadangkan khidmat kaunseling diberikan, perkhidmatan kaunseling diberikan, pujukan dilakukan kepada mereka yang terlibat sebelum ataupun semasa dan selepas perbicaraan.

Tiga suasana yang berbeza; sebelum mungkin mengurangkan ketakutan, semasa menimbulkan keyakinan dan selepas perbicaraan memperkukuh keselamatan saksi-saksi yang telah dipilih. Melibatkan psikologi klinikal yang bertauliah. Bukan sekadar pegawai biasa yang boleh menyelami jiwa rasa, yang boleh tahu dengan kaedah psikologi yang terbaik untuk membantu saksi-saksi ini.

Seterusnya, saya juga mencadangkan supaya tempoh masa tertentu perlu ditetapkan bagi keputusan permohonan kerana pindaan ini turut memperkemas proses kemasukan ke program perlindungan saksi. Ini amat penting kerana ancaman terhadap saksi boleh berlaku dalam tempoh yang singkat setelah laporan dibuat. Saya cadangkan sekali lagi, gunakanlah sistem digital bagi mempercepatkan urusan permohonan dan tetapkan tempoh tertentu supaya saksi tidak diganggu atau diugut dan sebagainya setelah laporan dibuat.

Tuan Yang di-Pertua, untuk memperkukuhkan keselamatan saksi. Keselamatan saksi perlu sentiasa menjadi keutamaan. Ramai saksi takut tampil, ramai saksi bimbang tampil kerana mereka bimbang diugut, diganggu dan didendami. Bukan sahaja saksi, tetapi juga keluarga saksi, turun-temurun saksi, anak, isteri, ibu, keluarga, pejabat dan sebagainya.

Justeru, saya mencadangkan kita manfaatkan teknologi seperti pemantauan keselamatan dan saluran kecemasan khas, meningkatkan kerjasama antara Polis Diraja Malaysia, Jabatan Peguam Negara dan Bahagian Perlindungan Saksi.

Sokongan selepas tamat program harus diberi keutamaan. Janganlah sudah habis manis, sepah dibuang. Keselamatan mereka mungkin terganggu dalam tempoh tertentu, ugutan boleh berlaku, ancaman boleh berterusan setelah keputusan atau hukuman dijatuhkan.

Justeru, perlindungan tidak seharusnya berakhir apabila sesuatu perbicaraan itu selesai. Masih terdapat kemungkinan ancaman selepas kes diputuskan, nyawa, keselamatan dan diri saksi sentiasa menjadi ugutan kepada mereka yang terkait dengan keterangan- keterangan di mahkamah.

Justeru, saya mencadangkan supaya program pemantauan susulan selama tempoh tertentu perlu diberikan termasuklah perkhidmatan kaunseling, termasuklah bantuan pekerjaan, bantuan perlindungan undang-undang, penempatan semula sekiranya keselamatan saksi itu terus diancam. Malah, kita juga mohon supaya bantuan kewangan dan penempatan, keselamatan yang lebih teliti terutamanya bantuan kewangan itu secara one-off bagi peserta menjalani kehidupan setelah program.

Akhirnya, saya bersetuju dengan rang undang-undang yang telah kita bawa dalam Dewan yang mulia ini. Cuma ada beberapa persoalan yang perlu dijawab oleh kementerian menurut pandangan saya perlu supaya dia tidak menimbulkan keresahan di hati rakyat teramai:

(i) berapakah jumlah saksi yang telah menyertai program perlindungan saksi sejak akta ini dikuatkuasakan?;

(ii) berapakah jumlah permohonan yang ditolak dan apakah faktor dan justifikasi penolakan ini dilakukan?;

(iii) apakah kerajaan bercadang memperuntukkan bajet tambahan bagi menyediakan khidmat psikologi yang jauh lebih baik dan jauh lebih berkesan dengan psikologi yang profesional, berkemahiran dan layak diiktiraf dalam kes-kes berprofil tinggi umpamanya?;

(iv) adakah semua negeri mempunyai pegawai dan kemudahan yang mencukupi untuk melaksanakan program ini?; dan

(v) adakah kerajaan bercadang menggunakan teknologi seperti keterangan melalui sidang video atau media sosial yang lain bagi mengurangkan risiko kepada saksi yang terlibat?

Tuan Yang di-Pertua, keadilan bukan sahaja bergantung kepada hakim. Keadilan bukan sahaja bergantung kepada pendakwa raya. Keadilan bukan sahaja bergantung kepada peguam dan keadilan sebenar juga mungkin tidak dicerminkan melalui hukuman mahkamah, tetapi apa yang lebih penting ialah keadilan adalah keberanian untuk menyatakan kebenaran.

Keadilan adalah untuk keberanian saksi tampil memberikan kenyataan. Keadilan adalah bilamana saksi itu benar-benar mempunyai roh kebenaran, menyatakan kebenaran, tidak takut kepada ancaman dan tidak juga takut kepada ugutan.

Justeru, saya percaya Rang Undang-undang Perlindungan Saksi (Pindaan) 2026 ini merupakan satu langkah yang tepat untuk memperkukuhkan sistem keadilan negara, meningkatkan keyakinan rakyat terhadap institusi perundangan dan memastikan setiap saksi dilindungi, diselamatkan dengan sewajarnya. Dengan itu Tuan Yang di-Pertua, saya menyokong rang undang-undang ini. Terima kasih.

draft2:50 PM

Timbalan Yang di-Pertua

Terima kasih Datuk Mustafa. Sekarang saya jemput Senator Tuan Haji Hussin bin Ismail. Berapa lama Tuan Haji Hussin nak?

draft3:00 PM

Tuan Haji Hussin bin Ismail

Lima minit.

draft3:00 PM

Timbalan Yang di-Pertua

Lima minit saja?

draft3:00 PM

Tuan Haji Hussin bin Ismail

Ya.

draft3:00 PM

Timbalan Yang di-Pertua

Baik. [Ketawa]

draft3:00 PM

Tuan Haji Hussin bin Ismail

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih Datuk Yang di-Pertua atas ruang yang diberikan saya untuk terlibat dalam perbahasan ini. Insya-Allah, saya cuma cuba untuk melengkapkan sebahagian perbahasan yang sudah pun disampaikan oleh sahabat-sahabat.

Cuma saya nak nukilkan satu ayat al-Quran tentang persaksian ini. Allah berfirman dalam Surah An-Nisa yang berbunyi [Membaca sepotong ayat al-Quran] . An-Nisa, ayat 131.

Yang maksudnya, “Wahai orang yang beriman, hendaklah kamu menjadi orang yang benar menegakkan keadilan dan menjadi saksi kerana Allah, sekalipun terhadap diri kamu sendiri atau ibu bapa kamu dan kaum kerabat kamu”. Ertinya, saksi yang sangat berkualiti, saksi yang tidak terpengaruh, walau kaum kerabat dan ahli keluarga.

Ibnu Qayyim menyebut, keadilan tidak dapat berlaku, berdiri melainkan di atas kesaksian yang benar. Ertinya, sesuatu keadilan dapat ditegakkan bukan hanya sekadar hakim yang adil, undang-undang yang baik, tetapi kesaksian yang benar, yang betul, yang berintegriti.

Dan inilah juga apa yang disebutkan Imam al-Nawawi yang menyebut kesaksian adalah amanah yang terbesar. Dalam Islam, saksi mempunyai kedudukan tinggi, mempunyai hukum dosa dan pahala dan pembalasan nanti di akhirat kelak.

Tuan-tuan, dalam Islam juga, seseorang yang menjadi saksi harus mempunyai ciri-ciri yang sangat kuat. Yang pertama, dia mestilah seorang yang adil.

Yang kedua, berintegriti. Yang ketiga, tidak fasik. Ertinya, kalau kita tengok selalu dok buat benda yang tak betul, itu dari segi kewajaran, kesaksiannya harus diambil kira.

Maksudnya, bukan saja melindung saksi, melindung orang ini jangan sampai jadi saksi. Betul ke saya sebut?

draft3:00 PM

Timbalan Yang di-Pertua

Setuju.

draft3:00 PM

Tuan Haji Hussin bin Ismail

Ha, betul. Dan yang keempat, berakhlak yang terpelihara. Ertinya, bukan sahaja kualiti, bukan sahaja kuantiti saksi yang kita bawa dalam penyaksian sesuatu kes, tetapi kualiti dan kredibiliti saksi.

Tuan-tuan, bila kita bicarakan tentang perkara-perkara yang sebegini, ertinya untuk mendapatkan kesaksian yang benar dan membuat perakuan yang tepat dan betul. Ia merupakan orang yang harus bertanggungjawab dengan persaksian yang dia buat dan keadilan yang benar dan berani tampil untuk menyatakan kebenaran demi menegakkan keadilan. Maka ertinya, kerajaan harus berada di hadapan untuk memastikan saksi akan diberi perlindungan yang wajar supaya dia nya boleh bercakap benar, tepat, berintegriti, berkredibiliti dan adil sebagai mana yang kita bicarakan untuk mendapatkan keputusan yang tepat.

Sebab itu dalam kes - dalam Islam ini, pernah seorang khalifah— khalifah ini bukan sekadar Perdana Menteri, Presiden dunia Islam masa itu. Saidina Ali yang apabila baju besinya dicuri, tetapi dalam perbicaraan, dia seorang Presiden. Macam Presiden negara Amerika lah, di bawa dalam satu perbicaraan, tetapi kerana tidak dapat membawa saksi yang boleh membuktikan, walaupun dia khalifah, dakwaannya ditolak. Walaupun yang mencuri itu tahu dia yang mencuri, tetapi kerana keadilan dan kesahihan, keabsahan, kesaksian. Akhirnya, Yahudi yang mencuri baju besi datang menyerah diri dan mengembalikan. Itu antara faktor keadilan yang perlu kita ambil perhatian.

Oleh kerana itu, usaha-usaha ke arah perlindungan kesaksian ini haruslah diberikan suatu perhatian yang sangat utama. Dan saya menyokong akan usul yang ada ini. Cumanya, apabila kita bicarakan tentang— hari ini tentang perlindungan saksi, mungkin saya salah faham, tapi saya fahamnya, seolah-olah yang turut dilindungi ini ialah termasuk saksi-saksi yang tidak cukup keupayaan. Kanak-kanak, yang tidak mempunyai— yang kita panggil apa tadi?

draft3:00 PM

Timbalan Yang di-Pertua

[Bercakap tanpa menggunakan pembesar suara]

draft3:00 PM

Tuan Haji Hussin bin Ismail

Bukan. Autisme. Kurang keupayaan fikiran menjadi saksi. Di sini pun saya harus juga sebutkan, kalau boleh difikirkan oleh Menteri Undang-undang kita, sebab integriti, kredibiliti harus datang daripada akal yang betul. Bukan sekadar kita nak lindungi dia kerana dia kurang upaya. Dia kurang upaya fizikal, tiada masalah, tetapi kalau dia kurang upaya dari sudut keupayaan pemikiran, penilaian dan keabsahan, keadilan ataupun ketepatan.

Maka, ianya saya fikir bab ini mungkin kita bicara tentang perlindungan, tetapi saya nak sebutnya, kalau ada ruang untuk difikirkan tentang kualiti saksi dan penyaksian itu, harus diberi suatu perhitungan besar. Sebab keputusannya— keputusan sesuatu kesaksian dia akan menjadi— menjatuhkan sesuatu hukuman. Hukuman itu boleh sampai nyawa orang hilang.

Walhal, kredibiliti saksi, walaupun dia dilindungi, dia adalah merupakan suatu perkara yang mungkin boleh dipersoalkan.

Saya juga mengambil kira untuk melihat tentang fungsi perlindungan ini. Hari ini bila kita bicara tentang persaksian ataupun perlindungan saksi, kes yang akhir-akhir ini makin besar. Seperti yang disebut oleh Yang Berhormat Menteri, kebanyakan kes yang kita bicarakan tentang perlindungan saksi, lebih utama yang terkait dengan masalah kes berprofil tinggi. Kes berprofil tinggi ini dekat negara kita pun, saya tidak menuduh tapi kadang-kadang, dengar- dengar, saksi terjun daripada tingkap. Betul ke saksi yang terjun?

Apakah perlu saksi ini dilindungi sebelum kes ataupun sebelum dia diterima menjadi saksi rasmi? Start apabila dia mula dibicarakan, lebih-lebih lagi dengan viral bermacam-macam sekarang ini, dengar-dengar, terjun dari tingkat 27, terjun— saya tak sebut kat mana ini. Saya sebut contoh. Terjun daripada tingkat 13. Kerana apa? Bukan sekadar ianya diugut, tapi dia sudah pun dihapuskan. Jadi ertinya, perlindungan saksi harus digerakkan dalam konteks yang lebih serius.

Kes dadah. Kes dadah ini kartel luar. Kes rasuah. Kes rasuah ini kartel dalam. Yang kadang-kadang membabitkan pihak-pihak berkuasa. Kadang-kadang yang mungkin dia nya saksi dia pindah dulu dah. Maka, tak mampulah dia menjadi saksi. Perkara-perkara ini bukan sekadar dilindungi, tetapi bagaimana harus juga kita fikirkan untuk melindungi orang yang bakal menjadi saksi. Nampak dah ada dah kes itu nak diangkat dan figure, figure tertentu sudah mula diberi perhatian. Fokus di situ, nyawanya sudah juga— saksi itu sendiri sudah mempunyai ancaman nyawa, ancaman kedudukan, ancaman penghinaan, ancaman fitnah lain, ancaman keluarga, ancaman anak-anak.

Walaupun tadi kita dengar, kan? Kemungkinan dia akan ditukar nama, tukar nama, tukar nama. Berapa lama nak tukar nama ini, Datuk Yang di-Pertua? Kes ini dibicarakan. Kalau dia kalah, okeylah, mungkin senyap, tapi dendam tetap ada. Kalau kes itu bagi pihak yang mendakwa benar, menang. Maka, apakah dia akan berakhir dengan selesainya perbicaraan?

Dan keputusan orang ini akan dihantar sama ada dipenjarakan atau dihukum hukuman- hukuman yang lain.

Saya nampak kadang-kadang saksi ini walaupun sebut tadi memang masalah kosnya yang sangat besar kalau kita nak ambil tanggungjawab yang panjang, Yang Berhormat Menteri, tapi implikasinya sangat panjang, turun-temurun. Sasaran berantai. Saksi satu kena, saksi dua kena, saksi tiga kena, saksi empat kena dan saksi ini panjang. Tindakan dendam kesumat akibat daripada perlakuan yang mereka lakukan. Jadi, macam kita sekaranglah, nak bawa saksi, saksi itu dah lari jauh dah.

Belum apa-apa lagi dah cabut keluar dah, dah jauh pergi. Itu sebab saksi itu sendiri tak boleh mampu berdepan, sebab kalau dia duduk, segala-galanya akan terancam. Jadi, saya melihat, kalau boleh, perlindungan saksi harus bermula sebelum dia menjadi saksi yang rasmi.

draft3:00 PM

Tuan Haji Hussin bin Ismail

Yang ketiganya, perlindungan saksi dari sudut kita bicara yang mungkin nampak dari segi fizikal. Yang Berhormat Menteri, apa kata dengan yang tadi, saksi difitnah pula dengan isu sekarang ini, jenayah siber ini? Jenayah siber ini dengan pensaksian yang dipaparkan, yang dicadangkan, yang nak diangkat, mereka sudah mula dibawakan dengan fitnah digitalnya, dengan fitnah-fitnah yang lainnya. Ini pun kalau perbicaraan selesai dan kemungkinan menang dalam perbicaraan itu, tapi kesan sampingan kepada isteri, kepada anak, kepada keluarga, kepada keturunan yang akan datang tak mampu untuk dibersihkan dengan cara yang mudah.

Apakah ada satu kaedah― supaya bukan sekadar sekatan habis saja perbicaraan, saksi pun sudah menang, perbicaraan pun sudah selesai, saksi pun dibebaskan. Saya nampak bahawa perlindungan saksi harus lebih jauh daripada itu.

Jadi, oleh kerana itu, saya ingat— ada dua, tiga perkara juga yang saya fikir boleh dilihat sekadar dalam konteks fizikal dan yang lain-lain, tapi yang selain daripada itu ialah kisaran kepada— kalau kita tengok kes dadahlah, dadah ini dia tengok hok dalam negara, dalam negara. Lepas keluar je, ada rangkaian dia lagi. Yang terkait dengan group, group kartel ini. Selepas satu kes, dia ada yang lain pula lagi.

Jadi, saya harap mudah-mudahan, insya-Allah, ambil kira juga dengan perlindungan fizikal yang dibuat, jauh ke depan daripada situ ialah untuk perlindungan kesan jangka panjang seseorang yang nak menyatakan kesediaannya untuk menjadi saksi. Saksi yang saya maksudkan ialah kes-kes yang berprofil tinggi, tambah-tambah yang terkait dengan orang politik, dengan lain-lain. Ini lagi mempunyai risiko yang sangat besar.

Saya sekadar untuk melengkapkan sebahagian daripada apa yang sahabat-sahabat, saudara sebutkan tadi. Saya rasa mudah-mudahan diambil perhatian oleh Yang Berhormat Menteri. Walaupun― apakah tidak mesti nak dicatitkan semua ini dalam pindaan Perlembagaan? Sudah tentu macam susah untuk dia nak, tapi saya ingat ia masih ada ruang untuk dilihat bagaimana melihat kesan jangka panjang dan perlindungan yang sebenar dalam— kalau dalam sistem Islam, dia mudah.

Sistem Islam, kalau dia kadang-kadang kes yang bunuh pun, dia sudah berakhir, selesai penyaksian, ada kes yang tertinggi sekali, yang paling tinggi kedudukannya, maaf, tapi apakah ada dalam sistem maaf ini, yang dalam konteks kita ini? Ada. Maaf, maknanya tarik baliklah, tetapi dalam hubungan yang penyaksian atau saksi atau perlindungan ini, mungkin untuk sampai ke situ, suatu yang macam tidak terupaya untuk difikirkan ketika ini, melainkan sistem yang complete, ekosistem undang-undang yang lengkap dapat kita bina menurut ketentuan yang ditetapkan oleh Allah SWT.

Saya rasa itu saja. Wabillahi taufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh.

draft3:10 PM

Timbalan Yang di-Pertua

Terima kasih Haji Hussin. Jarang-jarang Haji Hussin bercakap...

draft3:10 PM

Tuan Haji Hussin bin Ismail

Lima minit.

draft3:10 PM

Timbalan Yang di-Pertua

...Dalam tempoh masa yang dibenarkan...

[Ketawa] Alhamdulillah, ini hari dalam tempoh masa yang dibenarkan.

Sekarang saya jemput Senator Tuan Niran Tan Kran.

draft3:10 PM

Tuan Niran Tan Kran

Terima kasih Datuk Yang di-Pertua yang memberi peluang saya untuk membahaskan rang undang-undang ini pada hari ini. Salam sejahtera, salam Malaysia MADANI dan salam sawasdee. Saya juga mengambil kesempatan ini mengucapkan Selamat Hari Sarawak.

Saya bangun menyokong rang undang-undang ini kerana pindaan ini merupakan satu langkah reformasi penting dalam memperkukuhkan sistem keadilan jenayah negara tanpa merubah dasar asas akta ibu. Terima kasih juga kepada Menteri yang telah memberi satu penjelasan yang terperinci tentang pindaan ini dan keperluan atau justifikasi pindaan ini. Saya juga tidak bercakap panjang, cuma untuk melengkapkan apa yang telah disebut oleh rakan- rakan.

Saya merasakan bahawa pindaan ini memperluaskan akses kepada program perlindungan saksi dengan membolehkan permohonan dibuat bagi pihak saksi yang tidak berupaya oleh ibu, oleh bapa ataupun penjaga. Ini merupakan pendekatan yang lebih inklusif kerana terdapat saksi yang masih kanak-kanak, Orang Kurang Upaya atau individu yang tidak mampu menguruskan permohonan sendiri.

Dalam sistem keadilan kita, keberkesanan sesuatu pendakwaan bergantung kepada keberanian saksi untuk tampil bebas memberi keterangan dengan penuh tanggungjawab tanpa rasa takut diugut atau dibalas dendam agar keterangan yang diberikan adalah keterangan yang credible dan dapat diterima oleh mahkamah.

Selain itu, saya menyambut baik cadangan supaya setiap peserta menandatangani perjanjian perlindungan yang memperincikan hak dan tanggungjawab kedua-dua pihak.

Perjanjian yang jelas akan meningkatkan akauntabiliti, mengelakkan salah faham dan memastikan bahawa pelaksanaan program dijalankan dengan lebih tersusun dan berkesan.

Saya juga menyokong pindaan yang memasukkan bantuan psikologi dan kaunseling sebagai sebahagian daripada bantuan kepada peserta program perlindungan saksi. Ramai saksi mengalami trauma akibat menyaksikan jenayah serius seperti pembunuhan, pemerdagangan orang, rasuah dan jenayah seksual. Oleh itu, pemulihan emosi adalah sama penting dengan perlindungan fizikal.

Datuk Yang di-Pertua, walaupun saya menyokong pindaan ini, saya ingin mengemukakan beberapa cadangan penambahbaikan.

Pertama, kerajaan perlu memastikan program perlindungan saksi mempunyai peruntukan kewangan yang mencukupi. Perlindungan saksi melibatkan kos yang tinggi termasuk penempatan semula, perubahan identiti, bantuan sara hidup dan keselamatan berterusan. Kekurangan dana boleh menjejaskan keberkesanan program.

Kedua, saya mencadangkan supaya kerajaan menyediakan garis panduan yang jelas mengenai tempoh perlindungan saksi selepas sesuatu kes selesai dibicarakan. Dalam sesetengah kes, ancaman terhadap saksi masih berterusan walaupun keputusan mahkamah telah dibuat.

Ketiga, latihan khusus kepada pegawai yang mengendalikan program perlindungan saksi perlu diperkasakan termasuk dalam aspek keselamatan, psikologi, trauma dan pengurusan risiko agar kebajikan peserta sentiasa terpelihara.

Keempat, kerajaan juga perlu memanfaatkan teknologi moden dalam aspek perlindungan saksi seperti penggunaan identiti digital yang selamat, penyimpanan data secara sulit serta mekanisme komunikasi yang lebih selamat bagi mengelakkan kebocoran maklumat.

draft3:14 PM

Tuan Niran Tan Kran

Kelima, saya berharap pindaan ini turut memperkukuhkan kerjasama antara Jabatan Peguam Negara, Polis Diraja Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan agensi penguat kuasa lain supaya proses perlindungan saksi dapat dilaksanakan secara lebih cekap dan bersepadu.

Datuk Yang di-Pertua, keberanian seorang saksi untuk tampil memberi keterangan adalah tunjang kepada sistem keadilan. Sekiranya saksi merasa takut atau tidak yakin dengan perlindungan yang disediakan, ramai akan memilih untuk berdiam diri. Akibatnya, penjenayah mungkin terlepas daripada hukuman dan keadilan gagal ditegakkan. Oleh itu, pindaan ini bukan sekadar meminda beberapa peruntukan undang-undang, malah menghantarkan mesej bahawa kerajaan komited melindungi mereka yang berani tampil membantu proses keadilan.

Sebelum saya mengakhiri perbahasan ini, saya memohon kebenaran memajukan beberapa soalan kepada Menteri berkaitan seperti berikut. Bagaimanakah perlindungan ini dijalankan sekiranya saksi adalah dari luar negara? Saksi asing seperti bukan rakyat Malaysia?

Adakah program ini juga terpakai kepada saksi-saksi begini? Kalau jenayah yang melibatkan jenayah antarabangsa, kita perlu mengambil saksi dari luar negara. Adakah kita dilengkapi dengan undang-undang ataupun MLA— Mutual Legal Assistance atau mutual — ada satu akta yang extradition treaty or reciprocal treaty di mana kita boleh mendapat bantuan dari negara lain?

Dan saya lihat reciprocal treaty ini dia ada banyak cara-cara yang kita perlu dipatuhi.

Maknanya kalau dia orang pernah bantu kita, kita mesti reciprocate. Satu lagi berkaitan dengan kesalahan yang mestilah similar, kesalahan yang lebih kurang similar ataupun kesalahan yang berlaku di sini juga kesalahan yang menjadi kesalahan di negara yang lain, baru mutual assistance ini dibagikan. So, inilah aspek-aspek yang perlu kita kaji dan juga kita juga perlu kaji kemaskinikan amalan-amalan negara-negara lain agar apa yang kita— undang-undang yang kita ada ini dikemas kini selari dengan amalan-amalan antarabangsa.

Kedua, adakah kerajaan bercadang memperluaskan Program Perlindungan Saksi kes jenayah siber, penipuan kewangan dan jenayah rentas sempadan yang semakin meningkat?

Apakah— ketiga, apakah mekanisme pemantauan yang digunakan bagi memastikan identiti peserta Program Perlindungan Saksi tidak bocor?

Keempat, adakah kerajaan mempunyai perancangan untuk meningkatkan peruntukan kewangan dan sumber manusia bagi Program Perlindungan Saksi memandangkan kes jenayah kompleks dan semakin bertambah.

Kelima, bagaimana kerajaan menilai keberkesanan bantuan psikologi dan kaunseling yang diberikan kepada peserta program selepas mereka meninggalkan Program Perlindungan Saksi. Dan dengan ini, saya menyokong rang undang-undang pindaan ini. Sekian, terima kasih.

draft3:20 PM

Timbalan Yang di-Pertua

Terima kasih YB. Pandangan daripada bekas hakim.

Sekarang saya jemput Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im bin Haji Mokhtar.

draft3:20 PM

Dato' Setia Dr. Haji Mohd Na'im bin Mokhtar

Auzubillah minashaitan nirajeem, Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.

[Membaca sepotong doa] Terima kasih Datuk Yang di-Pertua kerana memberikan saya peluang untuk turut mengambil bahagian dalam perbahasan Rang Undang-undang Perlindungan Saksi (Pindaan) 2026.

Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada Yang Berhormat Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Undang- undang atas penjelasan yang telah diberikan berkaitan dengan rang undang-undang pindaan 2026 ini.

Datuk Yang di-Pertua, Rang Undang-undang Perlindungan Saksi (Pindaan) 2026 yang sedang kita bahaskan pada hari ini menyentuh satu asas penting dalam sistem keadilan negara iaitu tanggungjawab kerajaan untuk melindungi mereka yang tampil menyatakan kebenaran, membantu penyiasatan dan memberikan keterangan demi menegakkan undang-undang. Allah SWT berfirman dalam surah Al-Maidah ayat kelapan*.

[Membaca sepotong ayat al-Quran]* Yang bermaksud, “*Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran.

Dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil kepada sesiapa jua kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan”.* Ayat ini meletakkan keadilan sebagai suatu amanah yang wajib ditegakkan tanpa dipengaruhi oleh tekanan atau kepentingan mana-mana pihak. Dalam sistem keadilan, saksi memainkan peranan yang amat penting. Tanpa keberanian saksi untuk memberikan maklumat dan keterangan yang benar, sesuatu jenayah mungkin tidak dapat dibuktikan. Mangsa tidak dapat pembelaan dan pelaku pula boleh terlepas daripada hukuman.

Kesaksian yang benar merupakan satu amanah agama. Namun apabila seseorang saksi tampil membantu pihak berkuasa, negara juga mempunyai amanah untuk melindungi saksi tersebut daripada ancaman, ugutan dan tindakan balas.

Datuk Yang di-Pertua, Nabi SAW menyebut, [Membaca sepotong hadis] . “Sukakah kamu aku khabarkan berkaitan dengan saksi yang terbaik iaitu mereka-mereka yang hadir tampil ke hadapan memberikan keterangan tanpa diminta untuk memberikan keterangan”. Gambaran daripada Nabi tentang pahala yang besar yang bakal diterima oleh saksi-saksi kebenaran ini.

Walau bagaimanapun dalam masa yang sama, tujuan sesuatu perjalanan tindakan di mahkamah itu tidak lain dan tidak bukan ialah untuk menegakkan keadilan. Dan sekiranya saksi walaupun digalakkan untuk tampil memberikan keterangan, tetapi disebabkan oleh sesuatu seperti tekanan dan juga ugutan dan sebagainya tidak mampu untuk tampil ke depan memberi keterangan, di sinilah kerajaan memainkan peranan untuk memberikan perlindungan kepada saksi supaya keadilan itu dapat ditegakkan.

draft3:25 PM

Dato' Setia Dr. Haji Mohd Na'im bin Mokhtar

Kaedah feqah menyebut..

[Berucap dalam bahasa Arab] Barang yang tak sempurna sesuatu kewajipan itu kecuali dengan terlaksananya perkara itu maka perkara itu juga menjadi satu kewajipan. Allah SWT menyebut [Membaca sepotong ayat al-Quran] Apabila kamu hukum hendaklah kamu hukum dengan adil.

Jadi menghukum dengan keadilan itu adalah merupakan satu kewajipan dan kewajipan ini tidak dapat terlaksana sekiranya tidak ada keterangan bagi membuktikan sesuatu tindakan tersebut. Dan di sini ialah Datuk Yang di-Pertua saya merasakan bahawa rang undang-undang ini sangat penting sebab ia menjurus kepada untuk menegakkan keadilan.

Oleh itu, RUU ini harus dilihat bukan sekadar sebagai pindaan pentadbiran, tetapi sebagai usaha memperkukuh amanah negara dalam menegakkan keadilan, mencegah kemudaratan dan melindungi mereka yang memilih untuk berdiri di pihak kebenaran.

Datuk Yang di-Pertua, saya menyambut baik rang undang-undang ini apabila pindaan fasal 2 seksyen 7(3) iaitu memperluas perlindungan dengan membolehkan ibu bapa atau penjaga membuat permohonan kemasukan ke program perlindungan saksi bagi seseorang yang kurang keupayaan di sisi undang-undang. Bukan lagi terhad kepada saksi yang berumur di bawah 18 tahun.

Golongan tiada keupayaan di sisi undang-undang ini perlu ditakrifkan dengan lebih jelas supaya program perlindungan saksi betul-betul membantu golongan rentan yang sanggup berkorban menjadi saksi demi menegakkan keadilan. Adakah status tiada keupayaan di sisi undang-undang tersebut perlu disahkan melalui perintah mahkamah, laporan perubatan, penilaian pakar psikologi ataupun melalui suatu mekanisme penilaian yang di tetapkan oleh pihak berkuasa.

Penjelasan ini penting supaya tidak bergantung pada tafsiran yang terlalu luas atau berbeza-beza. Kita tidak mahu seseorang di nafikan hak untuk membuat keputusan sendiri tanpa asas yang kukuh atau sebaliknya. Seseorang yang benar-benar tidak berkeupayaan, gagal menerima perlindungan kerana proses pengesahan yang tidak jelas. Bagaimana pula sekiranya ancaman itu sendiri datang daripada ahli keluarga atau penjaga? Adakah kerajaan akan melantik penjaga bebas, wakil undang-undang atau pegawai pelindung untuk memastikan suara dan kebajikan saksi terus terbela.

Prinsip Islam jelas bahawa kuasa penjagaan bukanlah hak mutlak, tetapi suatu amanah yang wajib dilaksanakan dengan adil. Oleh itu, saya berpandangan supaya setiap permohonan bagi pihak seseorang yang tiada keupayaan di sisi undang-undang disertai dengan penilaian bebas, semakan konflik kepentingan dan pemantauan berkala.

Datuk Yang di-Pertua, fasal 3 memasukkan seksyen baru 10(A) yang mewajibkan peserta program perlindungan saksi menandatangani suatu perjanjian. Perjanjian tersebut boleh mengandungi terma perlindungan, kewajipan peserta menjaga keselamatan program dan kewajipan mematuhi arahan munasabah ketua pengarah.

Program perlindungan saksi perlulah melibatkan kerjasama dua hala. Kerajaan memberikan perlindungan dan bantuan, manakala peserta mematuhi arahan keselamatan serta tidak melakukan sesuatu yang boleh mendedahkan lokasi atau identitinya. Perjanjian ini tidak seharusnya menjadi dokumen pentadbiran yang terlalu teknikal sehingga peserta menandatanganinya tanpa memahami akibat undang-undangnya.

Penerangan perlu diberikan terlebih dahulu dalam bahasa yang mudah difahami.

Khidmat jurubahasa, bantuan guaman dan masa yang mencukupi untuk memahami perjanjian juga perlu disediakan. Kita tidak mahu perjanjian ini akhirnya hanya melindungi pentadbiran, tetapi tidak memberikan perlindungan yang seimbang kepada peserta.

Datuk Yang di-Pertua, saya amat menyokong pindaan melalui fasal 4 kepada sub seksyen 13(2) yang memasukkan bantuan psikologi termasuk kaunseling sebagai sebahagian daripada bantuan yang boleh diberikan kepada peserta program perlindungan saksi. Manusia di lihat secara menyeluruh merangkumi jasmani dan rohani. Perlindungan yang hanya menjaga tubuh badan, tetapi mengabaikan jiwa dan emosi belum dapat dianggap sebagai perlindungan yang sempurna.

Bantuan psikologi tidak seharusnya diberikan hanya apabila peserta sudah berada dalam keadaan krisis. Penilaian psikologi sepatutnya dimulakan sejak peringkat awal kemasukan ke dalam program. Diteruskan sepanjang tempoh perlindungan dan dikekalkan dalam fasa peralihan selepas program tamat. Setiap peserta perlu menjalani penilaian awal bagi mengenal pasti tahap trauma, risiko kemurungan, tekanan pasca trauma serta keupayaan menyesuaikan diri dengan kehidupan baru.

Penilaian ini penting supaya pelan intervensi boleh disesuaikan mengikut keperluan individu, bukan diberikan secara umum kepada semua peserta. Bagi peserta beragama Islam, kerajaan juga wajar menyediakan pilihan kaunseling yang mengintegrasikan pendekatan psikospiritual Islam tanpa mengetepikan rawatan psikologi dan perubahan profesional.

Unsur seperti sokongan kerohanian, pengukuhan jiwa, pemulihan harapan serta kefahaman terhadap konsep sabar, tawakal dan ikhtiar boleh membantu peserta membina ketahanan diri. Kerjasama perlu diwujudkan antara bahagian perlindungan dengan doktor- doktor, pensyarah-pensyarah, kaunselor-kaunselor dan ahli psikologi klinikal bertauliah.

Namun, semua kerjasama ini mestilah tertakluk kepada persetujuan peserta dan kawalan kerahsiaan yang sangat ketat.

Dalam konteks ini, isu kecukupan tenaga profesional perlu diberi perhatian serius.

Kerajaan tidak boleh sekadar memasukkan bantuan psikologi ke dalam undang-undang tanpa memastikan jumlah pakar yang mencukupi untuk melaksanakannya. Saya ingin mendapatkan penjelasan Yang Berhormat Timbalan Menteri, berapakah bilangan ahli psikologi klinikal, pegawai psikologi dan kaunselor yang kini ditempatkan secara khusus untuk mengendalikan peserta program perlindungan saksi?

Adakah bahagian perlindungan mempunyai pasukan psikologi dalaman sendiri atau bergantung pada pegawai daripada kementerian dan agensi lain. Sekiranya bergantung pada pihak luar, bagaimanakah kesinambungan rawatan kerahsiaan identiti dan keselamatan lokasi peserta dapat dijamin?

Kerajaan juga perlu menetapkan nisbah yang munasabah antara bilangan pakar dengan bilangan peserta dan ahli keluarga yang menerima perlindungan. Seorang pakar tidak seharusnya mengendalikan terlalu banyak kes berisiko tinggi sehingga sesi menjadi terlalu jarang, pemantauan tidak mencukupi atau tanda-tanda krisis tetap terlepas pandang.

Saya menyokong pindaan ini kerana ia mengiktiraf bahawa keselamatan seseorang saksi bukan sekadar keselamatan fizikal, namun peruntukan ini hanya akan bermakna jika disokong dengan bilangan pakar yang mencukupi, latihan yang khusus, sistem rujukan yang cekap dan peruntukan kewangan yang memadai.

Kita tidak mahu bantuan psikologi hanya menjadi satu fasa yang baik dalam akta, tetapi sukar di akses dalam pelaksanaan. Negara perlu memastikan setiap peserta yang berkorban demi menegakkan keadilan menerima sokongan yang berterusan untuk memulihkan kehidupan, emosi dan masa depan mereka.

Datuk Yang di-Pertua, saya juga ingin menyentuh fasal 5 khususnya sub fasal 5(B) yang memasukkan sub seksyen baru 16(12) dan (13). Pindaan ini memberikan kuasa kepada ketua pengarah untuk meluluskan perlindungan dan bantuan kepada peserta walaupun program perlindungan saksi telah ditamatkan. Bagi memastikan peserta dapat melalui proses peralihan kehidupan baru dengan selamat.

Bantuan tersebut boleh merangkumi penempatan semula bantuan kewangan, bantuan psikologi dan penempatan pekerjaan. Saya menyambut baik pindaan ini kerana ia mencerminkan nilai rahmah dan ihsan dalam pentadbiran. Kita tidak boleh meminta seseorang saksi meninggalkan pekerjaan, rumah, keluarga dan identiti asalnya demi membantu negara.

Kemudian menghentikan semua bantuan secara mendadak.

Penempatan semula ataupun pekerjaan dan sumber pendapatan boleh menyebabkan peserta hidup dalam kemiskinan atau terpaksa kembali kepada persekitaran yang membahayakannya. Saya mencadangkan supaya kerajaan menetapkan garis panduan mengenai tempoh peralihan, latihan kemahiran, penempatan pekerjaan dan pemantauan keselamatan. Bagi peserta Muslim yang memenuhi syarat kerjasama dengan institusi zakat, wakaf dan baitulmal juga boleh dipertimbangkan, namun sebarang kerjasama mesti dibuat tanpa mendedahkan identiti dan lokasi peserta.

draft3:30 PM

Dato' Setia Dr. Haji Mohd Na'im bin Mokhtar

Akhir kata, saksi merupakan mata dan telinga kepada sistem keadilan. Namun, negara tidak boleh meminta saksi mempertaruhkan nyawa mereka tanpa perlindungan yang berkesan.

Perlindungan terhadap saksi merupakan sebahagian daripada usaha menegakkan keadilan, mencegah kezaliman dan memelihara nyawa. Dengan penjelasan serta perhatian kerajaan terhadap perkara-perkara yang saya bangkitkan.

Datuk Yang di-Pertua, saya dengan ini, menyokong Rang Undang-undang Perlindungan Saksi (Pindaan) 2026 ini. Terima kasih.

draft3:40 PM

Timbalan Yang di-Pertua

Terima kasih, Dato’ Na’im. Nampaknya betul-betul tepat pada masa 15 minit. Terima kasih.

Sekarang, saya jemput YB Senator Tuan Haji Baharuddin bin Ahmad.

draft3:40 PM

Tuan Haji Baharuddin bin Ahmad

Terima kasih, Datuk Yang di-Pertua.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Bismillahirrahmanirrahim.

[Berselawat] Terima kasih kerana telah memberi peluang kepada saya untuk sama-sama turut berbahas Rang Undang-undang Perlindungan Saksi (Pindaan) 2026 yang mana, pada pandangan saya, pindaan ini sangat perlulah untuk kepentingan keadilan kerana saksi merupakan elemen yang sangat penting di dalam perbicaraan sesuatu kes. Saksi bukan sahaja penting kepada pihak pendakwaan, tetapi juga sebagai asas utama kepada mahkamah untuk membuat keputusan dalam penghakiman. Oleh itu, keterangan saksi yang jelas dan berwibawa, membantu menegakkan keadilan dalam sistem perundangan negara.

Kesediaan seseorang itu untuk menjadi saksi adalah suatu perkara atau sesuatu yang perlu dihargai kerana bukan senang ataupun bukan semua bersedia untuk menjadi saksi. Kita sendiri pun kadang-kadang merasa keberatan. Cuba bayangkan nak masuk dalam mahkamah sendiri pun kita dah rasa ragu-ragu tanpa lagi menghadapi soalan-soalan yang beraneka rupa daripada pendakwa mahupun daripada pembela. Tambahan pula, ancaman ugutan daripada pihak penjenayah itu sendiri. Jadi, keberanian saksi untuk tampil ke muka pengadilan untuk memberi keterangan, perlu dihargai dan Akta Perlindungan Saksi ini, dapat disebut sebagai satu pengiktirafan kepada saksi dan melindungi mereka daripada sebarang ancaman.

Cuma, saya nak bangkitkan di sini mungkin lain sikit daripada sahabat-sahabat. Banyak perkara yang telah dibangkitkan berkaitan dengan ancaman daripada pihak penjenayah kepada saksi-saksi. Yang pertamanya, berkaitan dengan bukan ancaman dari sudut keselamatan kerana itu semua kita dah ketahui, tetapi ancaman dari sudut imbuhan. Kerana penjenayah sekarang ini terutamanya kes-kes yang berprofil tinggi, penjenayah rentas sempadan, mereka ini mempunyai rangkaian yang sangat luas. Mempunyai sumber kewangan ataupun dana yang cukup banyak untuk digunakan dana ini sebagai imbuhan kepada saksi itu sendiri.

Kalau yang lain disebut sebagai ancaman kepada saksi, tapi sebaliknya dalam kes ini saya nak soalkan dari sudut imbuhan. Janji untuk diberikan kepada saksi supaya memberi keterangan yang meragukan untuk membebaskan penjenayah ini daripada tuduhan kerana mereka ada sumber kewangan yang banyak. Mereka ada akses untuk berhubung dengan banyak pihak. Mungkin dengan pihak-pihak yang berkuasa dan sebagainya. Jadi, sejauh mana pihak kementerian melihat perkara ini? Di mana amalan rasuah, amalan pemberian kepada saksi dan mereka yang terlibat dalam sistem keadilan ini dapat dihindari?

Seterusnya, untuk saksi yang memohon untuk dilibatkan dalam sistem ataupun Perlindungan Saksi ini sebagai peserta perlulah memohon secara rasmi dan saya nak tanya, daripada pihak Menteri proses kelulusan permohonan ini daripada awal sehingga akhir? Tentu melalui proses-proses yang tertentu. Berapa lama masa yang diambil? Dan seandainya permohonan ini tidak diluluskan, adakah dia layak untuk memohon? Dan sekiranya memohon rayuan untuk dilibatkan sebagai peserta, juga tidak diluluskan, bagaimana dengan saksi itu sendiri? Kerana kemungkinan ada permohonan untuk terlibat sebagai peserta yang tidak akan diluluskan. Dan kalau proses permohonan ini mengambil masa yang panjang mungkin dalam proses permohonan ini saksi itu telah diugut dan sebagainya. Jadi, bagaimana kita nak mengatasi masalah ini?

Seterusnya, saksi yang tidak memohon untuk terlibat sebagai peserta dalam Program Perlindungan Saksi ini, tetapi mungkin pihak berkuasa, mungkin pihak-pihak tertentu melihat bahawa saksi ini sangat penting dan berpotensi untuk diugut, berpotensi untuk disuap, berpotensi untuk diberi rasuah, untuk bercakap tidak benar, tetapi dia tidak memohon untuk menjadi peserta dalam Program Perlindungan Saksi ini.

Adakah pihak kerajaan, pihak berkuasa boleh tanpa kerelaannya dilibatkan juga sebagai peserta di dalam Program Perlindungan Saksi ini? Kerana kita rasa, dia sangat penting dan saksi yang utama di dalam kes-kes itu terutama kes-kes yang besar. Mungkin pihak yang berkenaan, pihak pendakwa, dia sendiri lihat. Kalau saksi ini memberi keterangan yang meragukan, maka kes ini akan kalah. Jadi, bagaimana kita nak menjaga dia, supaya dia tidak dipengaruhi oleh pihak penjenayah dan sebagainya untuk melibatkan juga dia sebagai peserta dalam Program Perlindungan Saksi ini?

Seterusnya, Tuan Yang di-Pertua, berkaitan dengan saksi daripada golongan rentan atau autisme dan sebagainya mereka ini akan disediakan ataupun dilibatkan dengan program kaunseling dan siapakah yang akan menjadi kaunselor kepada mereka ini? Adakah kaunselor- kaunselor ini juga dirahsiakan identitinya ataupun tidak dirahsiakan? Kalau kaunselor ini tidak dirahsiakan, saya juga bimbang identiti mereka akan dikenal pasti akan diketahui oleh pihak yang penjenayah atau pihak yang terlibat dalam kes itu dan mereka ini juga terdedah dengan ancaman sama ada ancaman ataupun tawaran-tawaran dari sudut kewangan dan sebagainya.

Jadi, saya nak minta penjelasan isu ini dalam kes ini, adakah kaunselor-kaunselor itu sendiri juga dirahsiakan identiti mereka dan mereka juga sebahagian daripada seolah-olah terlibat dalam Program Perlindungan Saksi itu sendiri? Dan juga kaunselor-kaunselor ini, adakah mereka ini memberi kaunseling semasa perbicaraan ataupun sebelum menghadapi perbicaraan, tetapi kaunseling itu terlibat juga?

Bagaimana untuk menjawab soalan-soalan di dalam mahkamah nanti dan sebagainya?

Adakah proses itu mempengaruhi saksi-saksi ini khususnya saksi yang golongan rentan, autisme dan sebagainya yang terencat pemikiran mereka? Mungkin hasil daripada kaunseling tadi memberi keterangan yang tidak ataupun kewibawaan keterangan itu boleh diragukan dan boleh menjejaskan pihak mahkamah untuk membuat keputusan. Saya minta penjelasan yang lebih terperinci dalam isu ini kerana bagi kita keadilan itu sangat penting, keadilan itu perlu diutamakan.

Dan— pendek saja. Yang terakhirnya, sikit saja Yang di-Pertua.

draft3:40 PM

Timbalan Yang di-Pertua

Tak apa.

draft3:40 PM

Tuan Haji Baharuddin bin Ahmad

Mungkin bagi orang lainlah. Saya tak pandai [Tidak jelas] .

draft3:40 PM

Timbalan Yang di-Pertua

Ada, ada 6 minit lagi. Ada 6 minit lagi. Boleh.

[Ketawa]

draft3:40 PM

Tuan Haji Baharuddin bin Ahmad

Satu lagi berkaitan dengan apa yang disebut oleh sahabat kita tadi ini, berkaitan dengan ada saksi ataupun bakal saksi yang terjun dan sebagainya.

draft3:40 PM

Tuan Haji Baharuddin bin Ahmad

Isu yang saya nak bangkit sini ialah dipaksa untuk menjadi saksi. Mungkin dalam penyiasatan belum lagi masuk ke mahkamah tapi seolah-olah ada ugutan, ada paksaan untuk menjadi saksi kepada pihak-pihak tertentu dan dia tidak bersedia. Mungkin sebab itulah Yang Berhormat boleh terjun bangunan itu, mungkin. Adakah benar ini juga timbul dalam kesaksian dan bagaimana nak mengatasi masalah ini? Kadang-kadang pihak yang memaksa ataupun mempengaruhi untuk menjadi saksi ini mereka, mereka yang ada pengaruh, ada pengaruh di dalam negara ini kerana sekarang ini semua pihak berpengaruh terutama sekali pihak-pihak yang ada wang, bukan pihak yang beruang Datuk Yang di-Pertua. Pihak yang ada wang mereka ini banyak pengaruh kerana wang itu segala-galanya. Walaupun segala wang itu bukan segala-galanya, tetapi segala-galanya sekarang ini memerlukan wang.

draft3:50 PM

Timbalan Yang di-Pertua

Jadi bukan saksi kena kejar beruanglah?

draft3:50 PM

Tuan Haji Baharuddin bin Ahmad

[Ketawa] Dikejar. Saksi yang dikejar oleh wang.

Dipaksa menjadi saksi. Jadi perkara ini walaupun tidak dapat dijelaskan, tetapi menjadi perbualan kadangkala di luar sana. Jadi kita nak supaya sistem perundangan di negara kita ini kekal sebagai sistem yang berwibawa dan diyakini.

Seterusnya, pindaan ini saya rasa sangat bersesuaian dengan kehendak PBB itu sendiri di mana apabila selesai kita meluluskan pindaan ini, maka Malaysia akan duduk— berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan negara-negara lain, negara-negara maju yang lain khususnya contoh seperti Singapore dan juga United Kingdom. Jadi pada peringkat antarabangsa, pindaan ini di peringkat Bangsa-Bangsa Bersatu sendiri iaitu Konvensyen Menentang Jenayah Terancang Rentas Sempadan (UNTOC) dan Konvensyen PBB Menentang Rasuah (UNCAC).

Kedua-dua instrumen antarabangsa ini mewajibkan negara-negara anggota menyediakan langkah-langkah yang berkesan bagi melindungi saksi daripada balas dendam, ancaman dan sebagainya. Peningkatan standard perlindungan termasuk aspek psikologi, sistem keadilan Malaysia setanding dengan standard United Nations Office on Drugs and Crime (UNODC). Saya berharap pindaan ini akan memberi kebaikan kepada semua pihak khususnya kepada saksi-saksi dan juga memberi impak yang tinggi kepada sistem keadilan negara kita ini. Dua minit lebih saya sedekahkan kepada sahabat-sahabat yang lainlah.

draft3:50 PM

Timbalan Yang di-Pertua

Alhamdulillah.

draft3:50 PM

Tuan Haji Baharuddin bin Ahmad

Sekian, terima kasih.

draft3:50 PM

Timbalan Yang di-Pertua

Baik. Terima kasih YB Baharuddin. Sekarang saya jemput Datuk Wong You Fong, dia sebagai Ketua Bahagian MCA bahagian saya, bahagian Pulai.

Saya tunggu ni nak dengar dia buat ucapan pertama dia dalam Dewan ini. Silakan YB.

draft3:50 PM

Datuk Wong You Fong

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Yang di-Pertua. Terlebih dahulu saya merakamkan ucapan terima kasih kerana memberikan saya peluang mengambil bahagian dalam perbahasan Rang Undang-undang Perlindungan Saksi (Pindaan) 2026 sebagai ucapan sulung saya di Dewan yang mulia ini.

Pada prinsipnya, saya menyokong RUU ini kerana pindaan yang dicadangkan merupakan satu langkah positif ke arah memperkukuhkan program perlindungan saksi di Malaysia. Walaupun pindaan ini lebih tertumpu kepada aspek pentadbiran dan pelaksanaan program, ia membuktikan komitmen kerajaan untuk terus memperkukuhkan sistem keadilan jenayah negara.

Datuk Yang di-Pertua, keberkesanan sesuatu sistem keadilan bukan hanya bergantung kepada kecekapan pihak polis, pendakwa raya dan mahkamah, tetapi juga kepada keberanian rakyat untuk tampil memberikan keterangan yang benar. Dalam kes-kes melibatkan rasuah, jenayah terancang, pemerdagangan orang, penderaan kanak-kanak, keganasan rumah tangga dan kesalahan seksual. Saksi sering menjadi faktor penentu kepada kejayaan sesuatu pendakwaan. Oleh itu, apabila negara melindungi saksi, negara sebenarnya sedang mempertahankan kedaulatan undang-undang, memperkukuhkan pentadbiran keadilan dan meningkatkan keyakinan rakyat terhadap sistem perundangan negara kita.

Saya dengan ini mengalu-alukan empat penambahbaikan utama yang dibawa melalui RUU ini iaitu memperluaskan perlindungan kepada individu yang tidak mempunyai keupayaan di sisi undang-undang melalui ibu bapa atau penjaga. Ia juga memperkenalkan perjanjian bertulis antara peserta dengan kerajaan, memasukkan bantuan psikologi dan kaunseling sebagai sebahagian daripada perlindungan. Selain itu, ia turut membolehkan bantuan diteruskan bagi membantu peserta menyesuaikan diri selepas keluar daripada program.

Kesemua pindaan ini wajar disokong kerana menjadikan program perlindungan saksi lebih tersusun, lebih berperikemanusiaan dan lebih responsif terhadap keperluan semasa.

Bagi kes-kes yang— Datuk Yang di-Pertua, walaupun saya menyokong rang undang- undang ini, saya ingin mengemukakan tiga cadangan utama untuk pertimbangan kerajaan.

Pertama, kerajaan wajar menetapkan satu tempoh masa yang jelas bagi memproses permohonan menyertai program perlindungan saksi. Dalam keadaan tertentu, ancaman terhadap seseorang saksi boleh berlaku dalam tempoh yang sangat singkat. Sekiranya proses kelulusan mengambil masa terlalu lama, keselamatan saksi mungkin telah terjejas sebelum perlindungan sewajarnya dapat diberikan. Sehubungan itu, saya mencadangkan supaya kerajaan mempertimbangkan satu mekanisme perlindungan sementara iaitu emergency protection bagi kes-kes yang benar-benar mendesak sementara keputusan muktamad dapat dibuat.

Kedua, saya ingin menyentuh mengenai prinsip natural justice. Saya bersetuju bahawa perlindungan boleh ditamatkan sekiranya peserta dengan sengaja melanggar syarat-syarat yang dipersetujui. Namun demikian, sebelum sesuatu keputusan yang memberi kesan besar kepada keselamatan seseorang peserta dapat dibuat, peserta sewajarnya diberikan peluang untuk didengar serta mengemukakan representasi. Di samping itu, saya berpandangan bahawa kerajaan wajar mempertimbangkan satu mekanisme semakan dalaman terhadap keputusan menolak permohonan menyertai program perlindungan saksi ini atau keputusan menamatkan perlindungan seseorang peserta. Saya tidak mencadangkan rayuan ke mahkamah bagi setiap keputusan. Memadai sekiranya diwujudkan satu proses semakan pentadbiran yang cepat, adil dan telus. Pendekatan ini bukan sahaja selaras dengan prinsip keadilan asasi iaitu natural justice, malah akan meningkatkan keyakinan rakyat terhadap kredibiliti program perlindungan saksi.

Ketiga, program perlindungan saksi perlu terus diperkasakan agar selari dengan cabaran keselamatan masa kini. Cabaran hari ini bukan lagi terhad kepada ancaman fizikal, teknologi digital, media sosial, kebocoran data dan serangan siber juga boleh mendedahkan identiti seseorang saksi. Justeru itu, saya mencadangkan supaya kementerian membangunkan satu protokol keselamatan digital iaitu garis panduan dan prosedur keselamatan digital bagi program perlindungan saksi bagi memastikan identiti maklumat dan lokasi peserta sentiasa dilindungi daripada ancaman teknologi moden.

Yang Berhormat Datuk Yang di-Pertua, dalam masa yang sama saya ingin memberikan penekanan khusus kepada perlindungan ahli keluarga saksi. Dalam banyak kes jenayah terancang, ugutan sebenarnya tidak ditujukan kepada saksi sahaja, tetapi kepada pasangan, anak-anak atau ahli keluarga terdekat bagi memaksa saksi menarik balik kerjasama mereka dengan pihak berkuasa.

draft3:53 PM

Datuk Wong You Fong

Saya berpandangan bahawa perlindungan terhadap ahli keluarga bukanlah satu keistimewaan, tetapi satu keperluan. Justeru, saya berharap kerajaan akan terus mengkaji dan memperkukuhkan dasar sedia ada supaya berdasarkan penilaian risiko, perlindungan yang sewajarnya turut dapat diberikan kepada ahli keluarga terdekat apabila keselamatan mereka juga terancam.

Dato' Yang di-Pertua, keempat, saya ingin menyentuh mengenai aspek tadbir urus Program Perlindungan Saksi. Rang undang-undang ini memberi kuasa kepada Ketua Pengarah untuk mengeluarkan standing order bagi pentadbiran Program Perlindungan Saksi.

Saya memahami keperluan memberikan fleksibiliti dan kuasa kepada Ketua Pengarah bagi memastikan program ini dapat dilaksanakan dengan cekap dan berkesan.

Namun demikian, saya berharap kuasa tersebut hendaklah dilaksanakan secara telus, konsisten dan selaras dengan prinsip tadbir urus yang baik. Oleh itu, saya ingin mendapatkan penjelasan daripada Yang Berhormat Menteri sama ada kementerian akan menyediakan garis panduan atau prosedur operasi standard yang sesuai bagi memastikan pelaksanaan kuasa tersebut sentiasa seragam, berakauntabiliti dan memenuhi kehendak akta ini?

Saya ingin mengemukakan satu cadangan yang saya percaya mampu meningkatkan lagi akauntabiliti serta keyakinan rakyat terhadap Program Perlindungan Saksi. Saya mencadangkan supaya kementerian mempertimbangkan untuk mengemukakan laporan berkala kepada Parlimen sekurang-kurangnya sekali setiap enam bulan tanpa menjejaskan kerahsiaan peserta atau keselamatan operasi. Laporan tersebut tidak perlu terlalu terperinci, memadailah sekiranya ia mengandungi statistik seperti jumlah permohonan yang telah diterima, jumlah permohonan yang telah diluluskan dan ditolak, purata tempoh pemprosesan, bilangan peserta yang masih berada dalam program serta langkah-langkah penambahbaikan yang telah diambil oleh kementerian.

Cadangan ini saya kemukakan atas tiga pertimbangan utama. Pertamanya, ia akan memperkukuhkan fungsi semak dan imbang Parlimen terhadap pelaksanaan Program Perlindungan Saksi ini.

Kedua, laporan yang dikemukakan setiap enam bulan membolehkan kelemahan dikenal pasti lebih awal supaya tindakan penambahbaikan dapat dilaksanakan dengan lebih cepat dan berkesan.

Ketiga, memandangkan pelaksanaan rang undang-undang ini melibatkan tambahan perbelanjaan kerajaan, Parlimen wajar diberikan maklumat secara berkala bagi memastikan setiap peruntukan yang dibelanjakan benar-benar meningkatkan keberkesanan program ini.

Pada hemat saya, cadangan ini bukan bertujuan menambah beban pentadbiran kementerian, tetapi bagi memperkukuhkan ketelusan, akauntabiliti dan keyakinan rakyat pada Program Perlindungan Saksi ini.

Dato' Yang di-Pertua, sebelum saya mengakhiri ucapan saya, izinkan saya mengemukakan dua persoalan kepada Yang Berhormat Menteri.

Pertama, adakah kerajaan bercadang menjalankan satu kajian semula secara menyeluruh terhadap Akta Perlindungan Saksi 2009 iaitu yang telah digubal lebih kurang enam, tujuh tahun yang lalu supaya ia sentiasa relevan dengan perkembangan jenayah moden, kemajuan teknologi serta cabaran baharu dalam sistem keadilan jenayah?

Kedua, adakah kerajaan bersedia mempertimbangkan cadangan-cadangan yang dibangkitkan dalam perbahasan hari ini, khususnya mengenai mechanism perlindungan sementara iaitu emergency protection, proses semakan dalaman berasaskan prinsip natural justice, perlindungan ahli keluarga saksi, protokol keselamatan digital dan laporan berkala kepada Parlimen demi memperkukuhkan lagi Program Perlindungan Saksi Negara?

Yang Berhormat Dato' Yang di-Pertua, izinkan saya mengakhiri perbahasan ini dengan satu penegasan. Program Perlindungan Saksi bukan sekadar bertujuan membantu sahaja pendakwaan atau meningkatkan kadar sabitan. Lebih penting daripada itu, ia mencerminkan komitmen negara untuk melindungi rakyat yang berani tampil mempertahankan kebenaran dan menegakkan keadilan.

Sesungguhnya keberkesanan sesuatu sistem keadilan tidak hanya diukur melalui bilangan pesalah yang berjaya disabitkan. Ia juga diukur melalui keyakinan rakyat bahawa apabila mereka tampil membantu pihak berkuasa, negara tidak akan membiarkan mereka menghadapi ancaman secara bersendirian. Apabila saksi yakin bahawa keselamatan diri dan keluarga mereka benar-benar dilindungi, mereka akan lebih berani tampil memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa.

Dengan itu, usaha membanteras rasuah, jenayah terancang, pemerdagangan orang, penderaan kanak-kanak, keganasan rumah tangga serta pelbagai jenayah berat akan menjadi lebih berkesan. Justeru, saya sekali lagi menyatakan sokongan saya terhadap RUU ini dan berharap pindaan ini menjadi asas kepada reformasi yang lebih menyeluruh bagi memperkukuhkan Akta Perlindungan Saksi pada masa hadapan. Ini penting demi membina sistem keadilan yang lebih telus, lebih diyakini dan benar-benar melindungi setiap rakyat yang berani menegakkan kebenaran. Dengan itu, saya menyokong rang undang-undang ini dengan cadangan penambahbaikan tertentu. Sekian, terima kasih.

draft4:00 PM

Timbalan Yang di-Pertua

Terima kasih Datuk Wong. Sekarang saya jemput Tan Sri Dato’ Low Kian Chuan.

[Ketawa]

draft4:00 PM

Tan Sri Dato’ Low Kian Chuan

Terima kasih Yang Berhormat Dato' Yang di-Pertua kerana memberi saya peluang untuk menyertai perbahasan Rang Undang-undang Perlindungan Saksi (Pindaan) 2026 di Dewan yang mulia ini. Saya menyambut baik usaha kerajaan melakukan beberapa pindaan utama bagi memperkukuhkan perlindungan dan keselamatan saksi, di samping mengemukakan pelbagai cadangan untuk menambah baik kebajikan, ketelusan dan meningkatkan keberkesanan pelaksanaan program ini.

Walau bagaimanapun Dato' Yang di-Pertua, saya ingin membangkitkan tiga isu yang memerlukan perhatian daripada pihak kerajaan.

Pertama, berkenaan dengan pindaan membenarkan ibu bapa atau penjaga memberikan persetujuan bagi kanak-kanak di bawah umur 18 tahun untuk menyertai Program Perlindungan Saksi. Pindaan ini menimbulkan beberapa implikasi perundangan dan etika yang kritikal, khususnya berkaitan hak serta agensi kanak-kanak.

Persoalannya, ia akan menimbulkan risiko konflik kepentingan sekiranya ibu bapa atau penjaga kepada kanak-kanak terlibat dalam jenayah tersebut atau sedang disiasat. Mereka mungkin menggunakan proses perlindungan saksi sebagai alat untuk mengelak daripada tindakan undang-undang atau untuk tujuan kawalan dan bukannya mengutamakan keselamatan atau kepentingan terbaik anak itu.

[Datuk Dr. Haji Mustafa bin Musa **mempengerusikan Mesyuarat****] Dengan itu, kerajaan boleh menimbang keperluan mekanisme alternatif bagi melindungi saksi kanak-kanak sekiranya ibu bapa atau penjaga mempunyai konflik kepentingan. Cadangan mekanisme alternatif akan melindungi hak dan kepentingan saksi kanak-kanak.

draft4:07 PM

Tan Sri Dato’ Low Kian Chuan

Kedua, saya juga ingin menyentuh aspek tadbir urus Program Perlindungan Saksi

(PPS). Pada masa ini, PPS diuruskan oleh Bahagian Perlindungan di Jabatan Perdana Menteri

(BPJPM) walaupun BPJPM diasingkan secara sejajar daripada agensi penyiasat seperti PDRM, ia masih merupakan sebahagian daripada jentera pentadbiran kerajaan.

Ini mungkin menimbulkan persepsi konflik kepentingan apabila berlakunya kes rasuah atau penyelewengan kuasa berprofil tinggi yang melibatkan pihak kepentingan dalam pentadbiran kerajaan. Kredibiliti dan kerahsiaan program ini boleh dipersoalkan oleh orang awam. Saksi mungkin berasa takut identiti mereka terdedah kepada pihak yang disiasat.

Dengan itu, saya mencadang untuk menambahbaikan urus tadbir dengan meletakkan program ini di bawah satu suruhanjaya bebas untuk menjamin ketelusan dan memisahkan fungsi perlindungan daripada cabang eksekutif kerajaan.

Suruhanjaya ini boleh menggabungkan pelbagai agensi penguatkuasaan di bawah satu bumbung neutral bagi mengelakkan pertindihan kuasa dan memastikan saksi berasa selamat di bawah program perlindungan saksi.

Ketiga, walaupun akta ini telah meletakkan faktor-faktor yang perlu dipertimbangkan dalam membuat keputusan berkaitan program perlindungan saksi, saya berpendapat bahawa aspek semakan dan pengawasan terhadap keputusan tersebut masih boleh diperkukuh.

Sehubungan itu, saya mencadangkan supaya kerajaan mempertimbangkan satu mekanisme semakan atau bentuk pengawasan yang lebih bebas dan bersesuaian bagi meningkatkan ketelusan, kredibiliti serta keyakinan awam terhadap pelaksanaan program perlindungan saksi.

Dengan itu, saya berharap pihak kerajaan dapat memberikan pertimbangan kepada isu-isu yang saya bangkitkan demi memperkukuh sistem perlindungan saksi negara di samping menegakkan keadilan sistem perundangan. Sekian, terima kasih Datuk Yang di-Pertua.

draft4:10 PM

Datuk Dr. Haji Mustafa bin Musa

Terima kasih Yang Berhormat Senator Tan Sri Dato' Low Kian Chuan. Sekarang saya mempersilakan Yang Berhormat Senator Tuan Abun Sui Anyit untuk mengambil bahagian. Silakan.

draft4:10 PM

Tuan Abun Sui Anyit

Ya terima kasih Datuk Yang di-Pertua kerana memberi saya peluang untuk membahaskan Rang Undang-undang Perlindungan Saksi (Pindaan) 2026 hari ini. Sekali lagi saya bangun pada hari ini untuk mengambil bahagian di dalam rang undang- undang ini iaitu pindaan 2026. Pada prinsipnya saya menyokong sepenuhnya rang undang- undang ini kerana ia merupakan satu langkah yang penting di dalam memperkukuhkan sistem keadilan jenayah negara.

Sesebuah pendakwaan bukan sahaja bergantung kepada kecekapan pihak penyiasat atau pendakwa raya, malah kepada keberanian saksi untuk tampil memberi keterangan.

Keberanian itu hanya dapat dizahirkan apabila saksi yakin bahawa keselamatan, kebajikan dan masa depan mereka benar-benar dilindungi.

Datuk Yang di-Pertua, saya menyambut baik beberapa penambahbaikan yang penting diperkenalkan melalui pindaan kali ini. Yang pertamanya pindaan ini memperluaskan akses kepada program perlindungan saksi dengan membenarkan ibu bapa atau penjaga membuat permohonan bagi pihak yang tidak berkeupayaan di sisi undang-undang. Langkah ini memastikan golongan rentan seperti kanak-kanak dan individu yang mempunyai ketidakupayaan mental turut mendapat perlindungan yang sewajarnya.

Yang keduanya, kewajipan menandatangani perjanjian bertulis peserta program dan kerajaan memperjelas hak, bertanggungjawab serta syarat penyertaan pada masa yang sama pengesahan bahawa perjanjian sedia ada terus berkuat kuasa memberi kepastian undang- undang kepada peserta yang menyertai program sebelum pindaan ini.

Yang ketiga, saya amat mengalu-alukan pengiktirafan bantuan psikologi dan kaunseling sebagai sebahagian daripada bantuan rasmi kepada peserta program. Ramai saksi mengalami trauma dan tekanan emosi selepas memberikan keterangan khususnya dalam kes jenayah yang serius ataupun selalu dikatakan berprofil tinggi di dalam negara ini.

Oleh itu, perlindungan saksi hendaklah merangkumi aspek keselamatan fizikal, kesejahteraan mental dan pemulihan sosial.

Yang kempat, kuasa ketua pengarah untuk meneruskan perlindungan dan bantuan bagi suatu tempoh yang munasabah selepas seseorang peserta keluar daripada program merupakan pendekatan yang lebih praktikal dan berperikemanusiaan. Ancaman terhadap saksi tidak semestinya berakhir apabila penyertaan mereka dalam program tamat.

Datuk Yang di-Pertua, walaupun saya menyokong pindaan ini saya ingin mengemukakan beberapa perkara yang untuk pertimbangan kerajaan. Yang pertamanya, pelaksanaan program di Sabah dan Sarawak. Sabah dan Sarawak mempunyai keluasan geografi yang unik, banyak komuniti di pedalaman hanya boleh dihubungi melalui sungai, jalan balak atau penerbangan luar bandar.

Oleh itu, program perlindungan saksi perlu mempunyai keupayaan logistik, sumber manusia dan peruntukan kewangan yang mencukupi supaya saksi di kawasan pedalaman menerima tahap perlindungan yang sama seperti di kawasan bandar. Contoh luar bandar ini kadang-kadang kalau mereka datang dari luar bandar dan ini merupakan satu menyebabkan mereka menghadapi ataupun menanggung beban kos yang tinggi.

Mereka jadi saksi saja sudah akan menjadi satu beban bagi mereka dan saya cadangkan ataupun mungkin sama ada kerajaan sudah mempunyai mekanisme untuk menanggung kos saksi-saksi yang dari pedalaman ini.

Yang kedua, penyelarasan antara agensi. Keberkesanan program bergantung kepada kerjasama erat antara Polis Diraja Malaysia, Jabatan Peguam Negara, mahkamah, Jabatan Penjara, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan kerajaan negeri. Saya berharap Prosedur Pperasi Standard sentiasa dikemas kini supaya proses perlindungan, pemindahan dan penempatan semula saksi dapat dilaksanakan dengan lebih cepat, cekap dan selamat.

Ketiga, keselamatan digital. Ancaman terhadap saksi hari ini bukan lagi hanya ancaman fizikal. Kebocoran maklumat melalui teknologi dan media sosial boleh mendedahkan identiti saksi serta menjejaskan keselamatan mereka. Justeru, penggunaan teknologi yang selamat, perlindungan data peribadi dan kawalan keselamatan siber perlu diperkukuhkan sebagai sebahagian daripada program perlindungan saksi.

Keempat, pengurusan identiti baharu dan hak harta peserta program. Saya juga ingin mendapatkan penjelasan daripada pihak kerajaan sekiranya terdapat keperluan untuk menukar identiti seseorang saksi termasuk pertukaran nama dan butiran pengenalan demi keselamatan mereka.

draft4:13 PM

Tuan Abun Sui Anyit

Jadi, adakah kerajaan mempunyai mekanisme yang komprehensif bagi membantu peserta program menguruskan segala urusan dokumentasi yang berkaitan. Sebagai contoh, bagaimanakah status hak milik tanah, rumah, akaun bank, simpanan KWSP, PERKESO, cukai pendapatan, lesen memandu, syarikat, polisi insurans dan dokumen rasmi lain yang diselaraskan apabila identiti baharu diberikan?

Saya berharap wujud satu mekanisme penyelarasan antara agensi supaya pertukaran identiti tidak menyebabkan peserta kehilangan hak atau berdepan kesukaran menguruskan harta dan kehidupan mereka. Dalam perkara ini, adakah kerajaan akan membantu peserta dari segi kos?

Yang kelima, jaminan keselamatan jangka panjang. Saya juga ingin mendapatkan penjelasan mengenai perlindungan selepas seseorang itu ataupun peserta itu menamatkan penyertaannya dalam program perlindungan saksi. Bagaimanakah kerajaan memastikan keselamatan saksi dan ahli keluarganya sekiranya ancaman daripada tertuduh, rakan sekutu atau ahli keluarga tertuduh masih berterusan bertahun-tahun kemudian? Adakah terdapat mekanisme ataupun penilaian risiko secara berkala atau perlindungan lanjutan sekiranya ancaman tersebut masih wujud?

Datuk Yang di-Pertua, saya juga berpandangan bahawa perbelanjaan bagi melaksanakan pindaan ini bukanlah satu beban kepada kerajaan sebaliknya merupakan satu pelaburan terhadap kedaulatan undang-undang negara. Sistem perlindungan saksi yang berkesan akan meningkatkan keyakinan rakyat terhadap institusi penguatkuasaan dan kehakiman sekali gus menggalakkan lebih ramai saksi tampil membantu proses keadilan.

Akhir sekali, saya merakamkan penghargaan kepada Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Peguam Negara, Polis Diraja Malaysia serta semua pihak yang terlibat menyediakan pindaan ini. Saya percaya undang-undang ini akan memperkukuh Program Perlindungan Saksi, meningkatkan keyakinan masyarakat untuk tampil membantu proses keadilan dan seterusnya memperkasakan sistem keadilan jenayah negara.

Dengan ini, saya menyokong Rang Undang-undang Perlindungan Saksi (Pindaan) 2026 untuk diluluskan. Sekian, terima kasih.

draft4:20 PM

Datuk Dr. Haji Mustafa bin Musa

Terima kasih Yang Berhormat Tuan Abun dan sekarang saya mempersilakan Yang Berhormat Senator Tuan Azhar bin Hasan, dipersilakan.

draft4:20 PM

Tuan Azahar bin Hassan

Terima kasih Yang Berhormat Speaker. Nasib baik saya masuk awal sikit noh, hilang dah orang ini.

Okey, terima kasih semua Yang Berhormat yang telah berbahas dengan panjang lebar.

Saya yang di hujung-hujung ini point, point pun dah habis dah. Jadi, saya ambil keputusan yang pertama, bukan menggulung lah, menyokonglah semua pandangan ataupun perbahasan daripada Yang Berhormat yang semua sebelum ini.

Banyak isi-isi yang terlalu hebat tapi saya akan kupas sedikit-sedikitlah. Terima kasih.

Kita ada masa lagi. Saya nak buka dengan pantunlah sebab tengok ada yang mengantuk dan sebagainya.

Burung merpati terbang ke laman, Hinggap sebentar di pohon sena; Saksi dilindungi demi keamanan, Keadilan teguh membela semua. Okey, saya tertarik dengan Yang Berhormat Dato' Setia Dr. Haji Mohd Na'im bin Haji Mokhtar yang mengeluarkan satu ayat al-Quran lah daripada Surah Al-Ma’idah. Saya nak baca sikit berkaitan dengan tambahan yang boleh kita menambahlah. Surah An-Nisa, ayat 135.

Kalau salah ini tolong betulkanlah, saya bukan ustaz. “Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu sentiasa menjadi orang yang menegakkan keadilan, menjadi saksi kerana Allah sekalipun terhadap diri kamu sendiri atau ibu bapa atau kaum kerabat”. Maknanya dalam ayat ini memang dah ada dah. Kita kena jadi saksi yang boleh dipercayai.

Tuan Yang di-Pertua, ayat yang mulia ini meletakkan satu prinsip yang amat penting dalam pembinaan sesebuah negara yang berteraskan kedaulatan undang-undang iaitu keadilan hanya dapat ditegakkan apabila kebenaran berani diperkatakan dan kesaksian diberikan dengan jujur, amanah serta tanpa rasa takut.

Dalam Islam, kesaksian bukanlah sekadar hak, malah merupakan amanah dan tanggungjawab yang akan dipersoalkan di hadapan Allah SWT. Seseorang saksi tidak boleh menyembunyikan kebenaran, memutar belitkan fakta atau tunduk kepada tekanan kerana kesaksian yang benar merupakan asas kepada terlaksananya keadilan.

Namun, pada hari ini kita berhadapan dengan realiti bahawa ramai saksi enggan tampil kerana bimbang terhadap keselamatan diri, keluarga, kerjaya dan masa depan mereka. Lebih membimbangkan apabila ancaman bukan sahaja berbentuk fizikal, malah melibatkan ugutan oleh media sosial, penyebaran maklumat peribadi, gangguan ekonomi, intimidasi oleh pihak yang berkepentingan.

Justeru itu menjadi tanggungjawab negara untuk memastikan bahawa setiap individu yang tampil membantu proses keadilan diberikan perlindungan yang mencukupi. Tanpa jaminan keselamatan, kita mungkin mempunyai undang-undang yang baik, tetapi gagal memperolehi bukti dan kesaksian yang diperlukan untuk menegakkan keadilan. Atas semangat itulah saya bersetuju dan mengambil bahagian dalam perbahasan Rang Undang-undang Perlindungan Saksi ini.

Pada prinsipnya saya menyokong rang undang-undang ini kerana ia merupakan satu langkah yang penting untuk memperkukuh sistem keadilan jenayah negara. Namun begitu, terdapat beberapa aspek yang saya percaya perlu diperkemaskan supaya perlindungan diberikan benar-benar berkesan, diyakini oleh masyarakat dan mampu menggalakkan lebih ramai saksi tampil tanpa rasa gentar dan takut.

Kita tengok sini macam jika ada perbicaraan yang panjang akan menyebabkan saksi terpaksa dilindungi pada masa yang lama. Ini kena ambil satu bagaimana kita nak pastikan perbicaraan ini kalau mengambil masa yang lebih ringkaslah, mungkin tidak makan setahun, dua tahun, tiga tahun. Menyebabkan bila lebih lama kita jaga saksi ini, lebih banyak kos yang akan ditanggung oleh kerajaan.

Dan adakah perlindungan ini akan kekal selepas kesnya selesai? Ini akan menjadi satu ketakutan yang akan menghantui jika pesalah dihukum dengan seberat-beratnya mungkin hukuman mati dan sebagainya menyebabkan dendam di kalangan orang-orang tertuduh, pesalah itu sendiri, kaum keluarga dan menyebabkan saksi terancam. Apakah peranan kerajaan untuk memastikan saksi dapat dilindungi sepenuhnya? Mungkin dengan pertukaran pengenalan diri, tempat tinggal dan sebagainya untuk mengelakkan supaya saksi terus diancam walaupun selepas tamat perbicaraan.

Dan lain-lain lagi sekali kita tengok kelayakan untuk mendapat perlindungan ini adakah dengan permohonan daripada saksi ataupun atas cadangan daripada pihak kerajaan sendiri?

Kadang-kadang kita tak tahu mungkin pesalah berada dalam penjara tapi boleh menguasai keadaan di luar. Maybe kes-kes yang beratlah dan saksi-saksi ini diancam mungkin dibunuh, mungkin dan menyebabkan saksi ini hilang dan sebagainya. Jadi, memohon supaya satu tindakan yang proaktif menjamin keselamatan saksi-saksi.

Ada lagi sembilan minit noh. Jadi, saya tak akan mengulas panjang cuma saya nak pergi kepada penutup yang lain-lain sebab kita sokonglah ke atas gulungan daripada kawan- kawan semua dengan idea-idea yang hebat.

Tuan Yang di-Pertua, Islam bukan sahaja memerintahkan umatnya memberi kesaksian yang benar, malah menegaskan bahawa menyembunyikan kesaksian adalah satu dosa. Oleh itu, menjadi tanggungjawab negara menyediakan sistem perlindungan yang membolehkan saksi menunaikan amanah tersebut tanpa rasa takut terhadap ancaman dan ugutan.

draft4:23 PM

Tuan Azahar bin Hassan

Dengan cara itu, kita bukan sahaja memperkasakan undang-undang bahkan memenuhi tuntutan keadilan sebagaimana yang digariskan dalam Al-Quran. Jadi, saya menyokong pindaan rang undang-undang ini demi Malaysia yang lebih baik, dapat membantu rakyatnya dalam semua keadaan, memastikan rakyat tidak tertindas dengan sebarang keadaan dan semoga dengan kelulusan rang undang-undang ini dapat memberikan satu keadaan yang lebih baik untuk Malaysia. Terima kasih. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

draft4:30 PM

Datuk Dr. Haji Mustafa bin Musa

Terima kasih Yang Berhormat Senator Tuan Azahar bin Hasan.

Demikianlah tadi, alhamdulillah 11 orang Ahli Yang Berhormat telah pun mengambil bahagian dalam perbahasan Rang Undang-undang Perlindungan Saksi (Pindaan) 2026.

Sekarang, dijemput Yang Berhormat Menteri.

draft4:30 PM

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) - Tuan M. Kulasegaran a/l V. Murugeson

Terima kasih Datuk Yang di-Pertua.

Air mengalir tenang ke muara, Perahu belayar mengikut haluan; Perlindungan saksi terus diperkasa, Demi keadilan dan kedaulatan undang-undang. Datuk Yang di-Pertua, bagi pihak Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada 12, kepada 11 Ahli Yang Berhormat Senator yang telah menyertai perbahasan ke atas Rang Undang- undang Perlindungan Saksi (Pindaan) 2026. Segala cadangan Yang Berhormat-Yang Berhormat dan pandangan amat dihargai dan akan diberi perhatian yang sewajarnya. Saya akan menjawab soalan berdasarkan isu.

Perlindungan kepada keluarga saksi adalah─ soalannya, adakah peruntukan Akta 696 merangkumi perlindungan kepada keluarga saksi? Datuk Yang di-Pertua, berhubung isu perlindungan kepada keluarga saksi yang telah diterima sebagai peserta Program Perlindungan Saksi yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Senator Dato’ Setia Salehuddin bin Saidin, kerajaan ingin menegaskan bahawa tafsiran ‘saksi’ di bawah seksyen 2 Akta 696 adalah luas dan juga merangkumi ahli keluarga kepada saksi yang telah diterima masuk ke dalam program sebagaimana diperuntukkan di bawah perenggan E. Dalam perkara ini, sekiranya keselamatan keluarga saksi juga terancam disebabkan penglibatan saksi dalam sesuatu kes, permohonan boleh dibuat kepada Ketua Pengarah BPJPM bagi kemasukan ke dalam program selaras dengan peruntukan di bawah seksyen 7 akta tersebut. Sebaik sahaja permohonan diterima, BPJPM akan menjalankan siasatan terperinci terhadap permohonan tersebut.

Penentuan kelayakan dibuat oleh Ketua Pengarah BPJPM di bawah seksyen 9 Akta 696 dengan mengambil kira kriteria-kriteria seperti latar belakang saksi, latar belakang kes yang melibatkan saksi, kepentingan keterangan saksi dalam membantu pendakwaan dan ancaman yang dihadapi oleh saksi. Saksi juga akan diminta untuk menjalani pemeriksaan perubatan, psikologi dan psikiatrik. Seterusnya, ketua pengarah akan menilai hasil siasatan yang dijalankan dan mempertimbangkan faktor-faktor tersebut sebelum membuat syor kepada Peguam Negara sama ada untuk menerima saksi sebagai peserta program atau sebaliknya.

Isu integriti dan kompetensi saksi di bawah Akta 696. Datuk Yang di-Pertua, Yang Berhormat Senator Puan Tiew Way Keng telah membangkitkan isu berhubung integriti dan kompetensi saksi yang diterima masuk sebagai peserta program dalam memberikan keterangan di mahkamah. Dalam perkara ini, kerajaan ingin menjelaskan bahawa keterangan saksi di mahkamah adalah perkara yang berbeza dan kekal tertakluk kepada Undang-undang Keterangan yang berkuat kuasa.

Sebagaimana yang diperuntukkan di bawah seksyen 118 Akta Keterangan 1950, penentuan sama ada seseorang saksi kompeten untuk memberikan keterangan merupakan bidang kuasa mahkamah dan dibuat berdasarkan keupayaan saksi memahami soalan serta memberikan jawapan yang rasional. Oleh itu, keputusan ketua pengarah untuk menerima seseorang ke dalam Program Perlindungan Saksi bukanlah satu penentuan mengenai kompetensi saksi di mahkamah dan tidak menjejaskan kuasa mahkamah untuk membuat penilaian sendiri di bawah Akta Keterangan 1950.

Kerajaan juga ingin menegaskan bahawa Akta 696 bertujuan menyediakan mekanisme perlindungan dan bantuan keselamatan kepada saksi yang menghadapi ancaman dan permohonan saksi adalah atas dasar sukarela sepenuhnya dan bukan melalui paksaan atau desakan oleh mana-mana pihak.

Berkenaan perlindungan kepada golongan rentan atau saksi tidak keupayaan di sisi undang-undang. Yang Berhormat Senator Puan Tiew dan Yang Berhormat Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im bin Mokhtar membangkitkan tentang perlindungan ke atas saksi golongan rentan atau tidak keupayaan di sisi undang-undang. Datuk Yang di-Pertua, bagi menjawab soalan berkenaan, kerajaan ingin menjelaskan bahawa pindaan ini bertujuan memperluaskan akses kepada Program Perlindungan Saksi supaya permohonan boleh dibuat bagi pihak saksi yang tidak keupayaan di sisi undang-undang melalui ibu, bapa atau penjaganya.

Tujuan pindaan ini adalah untuk memastikan golongan yang tidak berupaya menguruskan urusan perundangan sendiri tidak terhalang daripada mendapat perlindungan di bawah Program Perlindungan Saksi. Saksi yang dikategorikan sebagai tidak mempunyai keupayaan undang-undang adalah merangkumi saksi yang telah mencapai usia 18 tahun dan ke atas, namun tidak sempurna akalnya serta mempunyai kekurangan jangka panjang dari segi mental dan intelektual yang boleh menyekat penyertaan penuh dan berkesan mereka dalam masyarakat seperti seorang yang mempunyai masalah mental atau gila.

BPJ Jabatan Perdana Menteri akan meminta ibu atau bapa atau penjaga mengemukakan laporan perubatan atau penilaian klinikal daripada pakar perubatan atau pakar psikiatri berhubung keadaan saksi itu semasa permohonan dibuat.

Seterusnya, penentuan kemasukan ke dalam program adalah berdasarkan pertimbangan dan penilaian di bawah seksyen 9 Akta 696 oleh Ketua Pengarah BPJPM merangkumi pelbagai faktor termasuk keseriusan kesalahan, kepentingan keterangan saksi dan ancaman keselamatan yang dihadapi oleh saksi sebelum membuat syor kepada Peguam Negara untuk satu keputusan sama ada saksi itu layak dilindungi di bawah Program Perlindungan Saksi atau tidak.

Kerajaan ingin menjelaskan bahawa pindaan yang dicadangkan tidak bertujuan memberikan kuasa kepada ketua pengarah untuk memasukkan seorang saksi ke dalam Program Perlindungan Saksi secara proaktif atau automatik tanpa permohonan daripada saksi atau pihak yang dibenarkan oleh akta.

Penggunaan teknologi dalam perlindungan saksi. Yang Berhormat Senator Datuk Dr.

Haji Mustafa bin Musa membangkitkan isu perkara yang saya mengatakan iaitu penggunaan teknologi dalam perlindungan saksi. Datuk Yang di-Pertua, Akta 696 merupakan satu undang- undang yang bertujuan menyediakan mekanisme perlindungan dan bantuan kepada saksi yang menghadapi ancaman sebelum, semasa dan selepas prosiding mahkamah. Akta ini tidak bertujuan mengawal tatacara pengendalian prosiding mahkamah atau menggantikan bidang kuasa mahkamah dalam menguruskan perjalanan sesuatu perbicaraan.

draft4:31 PM

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) - Tuan M. Kulasegaran a/l V. Murugeson

Dalam hal ini, langkah-langkah seperti perbicaraan secara tertutup, pemberian keterangan oleh saksi di sebalik penghadang melalui liputan video atau apa-apa langkah perlindungan semasa prosiding telah pun diperuntukkan di bawah Kanun Prosedur Jenayah, Akta Keterangan Saksi Kanak-kanak 2007 dan undang-undang lain yang berkaitan tertakluk kepada penilaian serta budi bicara mahkamah mengikut fakta dan keperluan setiap kes. Ketua Pengarah akan bekerjasama rapat dengan pihak pendakwaan bagi memastikan langkah perlindungan membabitkan pengambilan keterangan peserta program yang bersesuaian dipohon apabila diperlukan.

Berhubung pendedahan identiti peserta dalam sesuatu prosiding mahkamah, seksyen 20 Akta 696 memperuntukkan bahawa jika identiti peserta menjadi isu, mahkamah hendaklah menjalankan prosiding berkaitan identiti peserta tersebut secara tertutup— proceeding in- camera dan mahkamah hendaklah melarang sebarang penerbitan keterangan yang diberikan oleh peserta itu bagi memastikan identiti peserta dapat dilindungi dan tidak didedahkan.

Yang Berhormat Senator Tiew, Yang Berhormat Datuk Haji Mustafa membangkitkan mengenai terma dan syarat dalam perjanjian dan pemahaman (understanding) terhadap perjanjian di bawah fasal 3. Datuk Yang di-Pertua, BPJPM meletakkan terma dan syarat perlindungan yang akan diberikan kepada peserta program serta perkara-perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan semasa berada di dalam program dalam perjanjian.

Antara terma dan syarat yang ditetapkan dalam perjanjian di bawah fasal 3 adalah mengenai tanggungjawab peserta dalam mematuhi terma dan syarat program. Kehadiran ke mahkamah untuk memberikan keterangan persetujuan peserta terhadap kaedah perundangan yang ditetapkan BPJPM serta tanggungjawab BPJPM dalam memberikan perlindungan keselamatan dan bantuan kepada peserta. Kesan kepada pelanggaran terma dan syarat program juga dinyatakan. Dalam perjanjian tersebut. Semua ini memastikan perlindungan yang berkesan diberikan peserta program.

Fasal 3 tidak sekadar memperuntukkan bahawa peserta atau ibu bapa atau penjaga kepada saksi di bawah umur 18 tahun dan saksi tidak keupayaan di sisi undang-undang menandatangani perjanjian tersebut. Sebelum sesuatu perjanjian ditandatangani, BPJPM akan memberikan penjelasan mengenai terma, syarat, hak tanggungjawab serta implikasi penyertaan dalam program kepada peserta, ibu, bapa, atau penjaga semasa siasatan terhadap permohonan dijalankan.

Selain itu, seksyen baharu 10A turut memperuntukkan bahawa perjanjian hendaklah ditandatangani di hadapan seseorang pegawai yang memegang atau menyandang jawatan yang ditentukan oleh Ketua Pengarah. Keperluan ini merupakan satu mekanisme kawal selia bagi memastikan kandungan perjanjian dijelaskan dengan sewajarnya dan bahawa persetujuan diberikan secara sukarela serta dimaklumkan.

Yang Berhormat Puan Tiew, membangkitkan isu bahawa penamatan perlindungan perlu dibuat secara adil dan pelaksanaan prosedur yang jelas. Kementerian ingin dijelaskan bahawa kuasa menamatkan tidak terletak kepada Ketua Pengarah semata-mata. Ketua pengarah hanya boleh mengesyorkan penamatan kepada Peguam Negara dan kuasa untuk menamatkan program tersebut terletak kepada Peguam Negara.

Pindaan yang dijalankan dalam seksyen 16(1)(ca) merupakan bahawa pelanggaran terma perjanjian secara sengaja menjadi salah satu alasan untuk Ketua Pengarah membuat syor penamatan tersebut. Pelanggaran yang boleh menamatkan perlindungan tersebut termasuklah keengganan peserta mengikut nasihat dan arahan BPJPM berkaitan keselamatan seperti enggan berpindah ke penempatan baharu yang lebih selamat atau penglibatan peserta dalam aktiviti jenayah seperti pengambilan dadah.

Sekiranya hal ini berlaku, prosedur menamatkan program seseorang peserta perlu dipatuhi seksyen 16 [Akta 696] termasuk memberikan kepada peserta satu peluang untuk didengar sebelum keputusan menamatkan dibuat. Selanjutnya, mekanisme rayuan sewajarnya telah pun diperuntukkan di bawah subseksyen 16(8) [Akta 696], sekiranya peserta tidak berpuas hati terhadap keputusan menamatkan program oleh Peguam Negara.

Seksyen 16(8), memperuntukkan bahawa peserta tidak boleh mengemukakan rayuan secara bertulis kepada Menteri— peserta boleh mengemukakan secara bertulis kepada Menteri dalam tempoh 14 hari dari tarikh penerimaan keputusan penamatan tersebut. Bagi peserta yang berumur di bawah 18 tahun atau yang tidak berkeupayaan di sisi undang-undang.

Rayuan tersebut boleh dikemukakan oleh ibu atau bapa atau penjaganya bagi pihak peserta.

Yang Berhormat Senator Dato’ Setia Salehuddin bin Saidin dan Senator Datuk Haji Mustafa bin Musa membangkitkan mengenai kejayaan pelaksanaan program dan sama ada laporan kejayaan dibentangkan di Parlimen. Datuk Yang di-Pertua, kerajaan ingin memaklumkan bahawa Program Perlindungan Saksi telah menunjukkan rekod pelaksanaan yang amat memberangsangkan— satisfactory. Sejak program ini di kuat kuasa, tahap keselamatan fizikal peserta kekal pada kadar 100 peratus iaitu tiada sebarang insiden kecederaan, ancaman fizikal atau kematian melibatkan peserta semasa berada di bawah program mahupun selepas penyertaan mereka ditamatkan.

Dari sudut keberkesanan sistem keadilan jenayah, program ini turut memberikan impak yang signifikan terhadap pelaksanaan pendakwaan melalui beberapa aspek. Antaranya program ini telah menyokong pendakwaan dalam pelbagai kes berprofil tinggi termasuk kes jenayah terancang, pemerdagangan orang dan rasuah.

Perlindungan yang diberikan boleh membolehkan saksi tampil memberikan keterangan— saksi tampil memberi keterangan tanpa rasa takut sekali gus membantu pihak pendakwaan mengemukakan keterangan yang lebih lengkap dan kukuh kepada mahkamah.

Perlindungan yang disediakan di bawah program meningkatkan keyakinan saksi untuk memberikan keterangan termasuk langkah-langkah melindungi identiti dan keselamatan saksi sepanjang prosiding. Meningkatkan keyakinan saksi untuk hadir dan memberikan keterangan secara bebas daripada ugutan dan intimidasi.

Keadaan ini membantu memastikan kelancaran prosiding, mengurangkan risiko saksi menarik diri atau enggan memberi keterangan serta menyumbang kepada keberkesanan keseluruhan proses pendakwaan. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat Senator, pelaporan mengenai kejayaan pelaksanaan Program Perlindungan Saksi dilaporkan setiap tahun kepada Menteri selaras dengan peruntukan di bawah seksyen 29 [Akta 696].

draft4:40 PM

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) - Tuan M. Kulasegaran a/l V. Murugeson

Berhubung statistik perlindungan di bawah program ini, ingin dimaklumkan bahawa dari tahun 2010 hingga 2026, BPJPM telah memberikan perlindungan kepada seramai 484 orang peserta program. Berhubung statistik bagi data permohonan masuk ke dalam program dan permohonan yang ditolak, kerajaan ingin memaklumkan bahawa sejak dari tahun 2010 sehingga 2026, BPJPM telah menerima sebanyak 348 permohonan bagi kemasukan ke dalam program. Dan daripada jumlah ini, sebanyak 183 permohonan telah ditolak oleh Peguam Negara atas pelbagai faktor terutamanya berhubung keengganan saksi untuk mematuhi terma dan syarat yang ditetapkan di bawah program.

Yang Berhormat Senator Dato’ Setia Salehuddin bin Saidin juga membangkitkan mengenai isu pertindihan di antara Akta Perlindungan Saksi 2009 dan Akta Pemberi Maklumat 2010 [Akta 711] dan mengapa Akta 696 tidak digabungkan bersama Akta 711. Kerajaan ingin menjelaskan bahawa kedua-dua akta mempunyai fungsi berbeza tetapi saling melengkapi.

Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 [Akta 711] memberikan perlindungan kerahsiaan identiti dan imuniti undang-undang kepada pemberi maklumat yang membuat pendedahan kelakuan tidak wajar.

Manakala Akta Perlindungan Saksi 2009 memberikan perlindungan keselamatan fizikal kepada pemberi maklumat yang menghadapi ancaman akibat pendedahan mereka.

Perlindungan di bawah Program Perlindungan Saksi 2009, Akta 696 adalah lebih menyeluruh termasuk penyediaan tempat tinggal yang selamat, bantuan sosioekonomi, sokongan psikologi dan aspek kerohanian mengikut keperluan kes.

Isu ancaman kebocoran maklumat program perlindungan saksi dibangkitkan oleh Yang Berhormat Senator Dato’ Setia Salehuddin bin Saidin, Yang Berhormat Senator Puan Tiew, Yang Berhormat Senator Tuan Niran Tan Kran membangkitkan isu mengenai ancaman kebocoran maklumat identiti saksi akibat eksploitasi digital seperti penggunaan facial recognition.

Bagi menjawab persoalan bagaimana kerajaan memastikan maklumat berkaitan peserta program kekal selamat di era siber yang berleluasa, saya ingin memberi jaminan bahawa perlindungan data peserta dan maklumat hal ehwal program dilaksanakan melalui tiga pendekatan bersepadu iaitu:

Pertama, infrastruktur digital. Pangkalan data yang menyimpan fail peserta dan maklumat hal ehwal program perlindungan saksi iaitu Sistem Pemantauan Program Perlindungan Saksi (S3PS) tidak diletakkan di dalam pelayan awam— cloud awam, tetapi diletakkan di premis bahagian perlindungan. Langkah ini adalah selaras dengan pemantauan terhadap arahan Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia (CGSO) yang menetapkan bahawa apa-apa data dan aplikasi yang mengandungi maklumat bertaraf rahsia rasmi mestilah ditempatkan dan dikawal seperti mana di dalam premis kerajaan. Sistem ini beroperasi di atas rangkaian tertutup bagi mentadbir dalaman yang diasingkan daripada capaian internet luar kecuali untuk urusan permohonan dan semakan status permohonan sahaja oleh pemohon.

Sistem ini turut disokong dengan hujung ke hujung— end-to-end encryption. Ini bermaksud sekiranya ada cubaan pencerobohan, penjenayah siber hanya akan menemui data yang telah disulitkan dan tidak boleh dibaca. Selain itu, terdapat application firewall (WAF) iaitu sistem keselamatan yang bertindak sebagai benteng pertahanan (shield) di antara sesebuah aplikasi web dan pengguna di internet.

Kedua, pemantauan agensi kepakaran siber. Kerajaan tidak menguruskan benteng pertahanan digital ini secara bersendirian. BPJPM sentiasa bekerjasama erat dengan Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) dan CyberSecurity Malaysia. Ujian penembusan (penetration testing) secara berkala serta pemantauan nyata sentiasa dijalankan bagi mengenal pasti dan menampal apa-apa kelompongan sebelum ia dapat dieksploitasi oleh mana-mana pihak.

Ketiga, peruntukan undang-undang sedia ada. Dari sudut perundangan, Akta Perlindungan Saksi 2009 sendiri telah memperuntukkan hukuman yang berat terhadap mana- mana individu yang membocorkan maklumat berkaitan hal ehwal program iaitu boleh dikenakan penjara sehingga tempoh 20 tahun jika disabitkan kesalahan. Melalui perlindungan sistem tertutup ini, ditambah dengan teknologi penyulitan data yang tinggi, percubaan untuk menggunakan teknologi seperti facial recognition atau penjejakan digital oleh pihak luar untuk mengenal pasti peserta program dapat dikekang dengan berkesan.

Yang Berhormat Dato’ Setia Salehuddin bin Saidin membangkitkan mengenai isu penukaran identiti saksi di bawah program dan selepas penamatan program ini. Datuk Yang di-Pertua, kerajaan ingin menjelaskan bahawa di bawah seksyen 13 Akta 696, Pengarah mempunyai kuasa untuk mewujudkan identiti baharu saksi dengan keizinan bertulis daripada saksi tersebut. Akta juga memperuntukkan bahawa penggunaan identiti baharu dibenarkan walaupun selepas saksi tersebut ditamatkan daripada program. Pendedahan atau penukaran identiti asal saksi adalah tertakluk kepada kebenaran Ketua Pengarah BPJPM.

Yang Berhormat Senator Dato’ Setia Salehuddin bin Saidin juga membangkitkan isu berhubung keselamatan saksi yang telah menyelesaikan perkara— menyelesaikan memberikan keterangan di mahkamah dan ditamatkan perlindungan di bawah program. Datuk Yang di-Pertua, kerajaan ingin menjelaskan bahawa keselamatan bagi bekas peserta program dipastikan melalui pendekatan berasaskan penilaian risiko oleh Ketua Pengarah sebelum peserta dilepaskan daripada perlindungan BPJPM yang merangkumi bantuan seperti penyediaan tempat tinggal yang selamat, bantuan kewangan bagi keperluan asas, bantuan mendapatkan pekerjaan serta akses kepada pendidikan di lokasi penempatan semula.

Pendekatan ini bertujuan mengurangkan pendedahan bekas peserta kepada risiko keselamatan serta membantu mereka menjalani kehidupan yang stabil selepas keluar daripada program.

Walau bagaimanapun, selepas seseorang tamat daripada program, mereka bukan lagi peserta program perlindungan saksi. Sekiranya bekas peserta menerima ancaman baharu atau menghadapi apa-apa insiden yang menjejaskan keselamatan mereka selepas tamat program, mereka hendaklah membuat laporan kepada agensi penguatkuasaan yang berkaitan untuk tindakan lanjut mengikut undang-undang yang berkuat kuasa. Sekiranya keadaan memerlukan permohonan baharu untuk kemasukan ke dalam program, boleh dipertimbangkan mengikut peruntukan Akta 696.

Yang Berhormat Puan Tiew, Yang Berhormat Dato' Setia Dr. Haji Mohd Na'im bin Mokhtar membangkitkan mengenai penambahan sumber manusia bagi melaksanakan akta ini lebih berkesan.

draft4:50 PM

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) - Tuan M. Kulasegaran a/l V. Murugeson

Datuk Yang di-Pertua, jumlah jawatan sedia ada di Jabatan BP, Jabatan Perdana Menteri adalah sebanyak— seramai 83 orang. Kini, BPJPM sedang dalam proses penstrukturan semula untuk menambah perjawatan bukan sahaja di ibu pejabat, malah merangkumi peringkat zon utara, zon selatan, zon timur serta Sabah dan Sarawak.

Susulan itu, kertas cadangan penstrukturan semula organisasi dan penubuhan cawangan BP Jabatan Perdana Menteri di peringkat zon negeri telah dikemukakan kepada Timbalan Ketua Setiausaha Kanan Jabatan Perdana Menteri pada 22 Disember 2025. Selain itu, BPJPM juga serta melengkapkan audit kendiri jawatan dan organisasi APKO sebagai mana yang disyorkan oleh JPA dan Bahagian Sumber Manusia JPM Yang Berhormat Datuk Dr. Haji Mustafa bin Musa, Yang Berhormat Dato' Setia Dr. Haji Mohd Na'im bin Haji Mokhtar membangkitkan mengenai bilangan Pegawai Psikologi di BPJPM menyediakan peruntukan tambahan bagi memperkukuhkan perkhidmatan psikologi kepada peserta program. Datuk Yang di-Pertua, buat masa ini, JPM tidak mempunyai Pegawai Psikologi dalaman. Oleh itu, sokongan kaunseling diberikan melalui kaedah berikut. Kolaborasi agensi, BPJPM memanfaatkan kepakaran Pegawai Psikologi sedia ada daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) dan Jabatan Perdana Menteri (JPM) untuk mengendalikan sesi kaunseling berserta program.

Perancangan masa depan. Memandangkan keperluan emosi saksi di bawah Program Perlindungan Saksi adalah sangat kritikal dan sensitif, BPJPM sedang dalam proses penstrukturan semula untuk menambah perjawatan tetap Pegawai Psikologi dalaman.

Langkah ini memastikan perkhidmatan sokongan mental dapat diberikan secara berterusan dan lebih holistik pada masa hadapan.

Yang Berhormat Senator Tuan Niran Tan Kran telah membangkitkan berkenaan isu sama ada pemakaian akta ini turut terpakai kepada saksi merentas sempadan. Datuk Yang di- Pertua, kerajaan ingin menjelaskan bahawa secara prinsipnya, pemakaian Akta Perlindungan Saksi 2009 tidak terpakai merentas sempadan. Perkara ini adalah kerana peruntukan undang- undang dan bidang kuasa perlindungan di bawah akta ini hanya terhad dan tertakluk kepada sempadan serta kedaulatan perundangan di dalam negara Malaysia sahaja. Kita tidak mempunyai bidang kuasa untuk melaksanakan operasi program secara langsung di negara asing.

Walau bagaimanapun, sekiranya seseorang saksi itu berada di luar negara tetapi keterangannya amat diperlukan bagi perbicaraan ataupun penyelesaian sesuatu kes di Malaysia, permohonan untuk memasukkan saksi tersebut ke dalam Program Perlindungan Saksi masih boleh dibuat di bawah Akta 696 dan perlindungan akan diberikan dalam negara.

Yang Berhormat Senator Datuk Dr. Haji Mustafa bin Musa telah membangkitkan berkenaan isu perlindungan dan sokongan kepada peserta program kes mahkamah selesai.

Datuk Yang di-Pertua, kerajaan ingin menjelaskan bahawa fasal 5 memberikan kuasa kepada Ketua Pengarah untuk membuat pertimbangan sebagai mana yang didapati perlu dan munasabah bagi memastikan bekas peserta dapat menjalani peralihan hidup dengan selamat dan selesa selepas keluar daripada program. Bantuan yang diberikan adalah bantuan yang berbentuk keperluan asas seperti penyediaan tempat tinggal yang selamat, bantuan kewangan yang memberi keperluan asas seperti makanan, minuman dan pakaian dan bantuan untuk mendapatkan pekerjaan serta akses kepada pendidikan di penempatan semula.

Berhubung isu tempoh bantuan diberikan, ingin dijelaskan bahawa matlamat utama peruntukan ini adalah untuk memastikan bekas peserta program dapat menjalani peralihan hidup dengan selamat dan selesa sejurus selepas Peguam Negara membuat keputusan menamatkan program seseorang peserta. Oleh itu, bantuan yang diberikan adalah bersifat sekali beri dan bukan untuk suatu tempoh yang berkala.

Yang Berhormat Senator Tuan Haji Hussin bin Ismail dan Yang Berhormat Senator Datuk Wong You Fong telah membangkitkan mengenai keperluan untuk memperluaskan perlindungan kepada individu sebelum menjadi saksi rasmi dalam sesuatu prosiding. Datuk Yang di-Pertua, dalam situasi yang memerlukan tindakan perlindungan secara subseksyen 7(4), akta memberikan kuasa kepada Ketua Pengarah untuk memberikan perlindungan dan bantuan secara interim kepada saksi sebaik sahaja permohonan diterima bagi memastikan perlindungan keselamatan tidak tertangguh.

Yang Berhormat Senator Tuan Haji Baharuddin bin Ahmad dan Yang Berhormat Datuk Wong You Fong membangkitkan mengenai perlaksanaan bantuan psikologi yang diberikan kepada peserta program. Datuk Yang di-Pertua, bentuk bantuan psikologi yang dicadangkan dalam pindaan ini adalah bantuan profesional yang menumpukan kepada aspek kesihatan mental dan kesejahteraan emosi berserta program, termasuk pengurusan trauma, kebimbangan tekanan dan ketakutan. Sokongan psikologi ini akan dilaksanakan secara profesional oleh pegawai psikologi yang bertauliah dan mengikut etika amalan kerja yang sepatutnya dan bukannya bertujuan untuk memberi latihan atau arahan berkenaan cara menjawab soalan semasa peserta program memberikan keterangan di mahkamah. Sokongan psikologi ini merupakan seperti bantuan psikologi yang diberikan kepada mangsa penderaan atau pemerdagangan orang di bawah perlindungan jabatan kerajaan yang berkaitan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat bagi memastikan mereka dapat menjalani proses perbicaraan dengan emosi yang stable. Yang Berhormat Senator Datuk Wong You Fong telah mencadangkan supaya perlaksanaan program dibentangkan di Parlimen setiap enam bulan. Datuk Yang di-Pertua, kerajaan mengambil maklum akan cadangan ini. Walau bagaimanapun, selaras dengan peruntukan di bawah seksyen 29 Akta 696, pelaporan mengenai kejayaan perlaksanaan Program Perlindungan Saksi dilaporkan setiap tahun kepada Menteri.

Datuk Yang di-Pertua, mengakhiri penggulungan ini, sukacita sekali lagi saya merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih atas segala pandangan yang telah dikongsikan oleh Ahli-ahli Yang Berhormat Senator. Sekiranya terdapat isu-isu yang tidak sempat dijawab oleh saya secara lisan hari ini, saya akan memberikan jawapan secara bertulis kepada Ahli-ahli Yang Berhormat Senator bagi isu tersebut.

Namun begitu, izinkan saya berkongsi mengikut Peraturan Mesyuarat 37(1), Peraturan- peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Negara yang menyatakan bahawa perbahasan hendaklah bertumpu kepada pindaan-pindaan yang dicadangkan dalam rang undang-undang ini sahaja.

Oleh itu, kerajaan akan memberi jawapan bertulis sekiranya tidak dijawab terhadap isu-isu yang berkaitan secara langsung dengan fasal-fasal pindaan yang sedang dipertimbangkan oleh Majlis. Terima kasih Datuk Yang di-Pertua.

draft5:00 PM

Dato’ Setia Salehuddin bin Saidin

Datuk Yang di-Pertua, boleh saya tanya satu soalan sahaja kepada Yang Berhormat Timbalan Menteri?

draft5:00 PM

Datuk Dr. Haji Mustafa bin Musa

Yang Berhormat Menteri.

draft5:00 PM

Tuan M. Kulasegaran a/l V. Murugeson

Ya.

draft5:00 PM

Dato’ Setia Salehuddin bin Saidin

Terima kasih Yang Berhormat Timbalan Menteri telah menjawab semua soalan. Saya amat berpuas hati. Cuma satu sahaja saya nak minta pandangan Yang Berhormat Timbalan Menteri berkaitan dengan soalan saya satu tadi. Adakah Yang Berhormat Menteri merasakan undang-undang ini, Akta Perlindungan Kanak-kanak ini telah mencapai objektif untuk melindungi kanak-kanak dan juga saksi-saksi daripada ancaman? Terima kasih.

draft5:00 PM

Tuan M. Kulasegaran a/l V. Murugeson

Yang Berhormat Senator, sebenarnya undang-undang yang sedia ada, ada kekurangan yang tertentu. Itu sebab kita membawa rang undang-undang hari ini. Ini sekali gus menunjukkan bahawa undang-undang yang sedia ada tidak cukup, tidak efektif, tetapi itu tidak bermakna tidak cukup penyiasatan dan sebagainya.

Itu komprehensif. Dan kita percaya dengan perubahan undang-undang yang dibawa hari ini, ia akan membawa lebih konkrit kepada perkara-perkara yang akan menyelesaikan banyak masalah-masalah yang dihadapi dalam kes-kes dalam rang undang-undang ini. Terima kasih.

draft5:10 PM

Datuk Dr. Haji Mustafa bin Musa

Terima kasih. Ahli-ahli Yang Berhormat, sekarang saya kemukakan masalah kepada Majlis bagi diputuskan.

[Masalah dikemukakan bagi diputuskan; dan disetujukan] [Rang undang-undang dibacakan kali yang kedua dan diserahkan kepada Dewan sebagai Jawatankuasa] [Majlis bersidang dalam Jawatankuasa] [Datuk Dr. Haji Mustafa bin Musa mempengerusikan Jawatankuasa****] [Fasal-fasal dikemukakan kepada Jawatankuasa] [****Fasal-fasal 1 hingga 6 diperintahkan jadi sebahagian daripada rang undang-undang] [Rang undang-undang dimaklumkan kepada Majlis sekarang] [Majlis Mesyuarat bersidang semula] [Datuk Dr. Haji Mustafa bin Musa **mempengerusikan Mesyuarat****] [Rang undang-undang dilaporkan dengan tidak ada pindaan; dibacakan kali yang ketiga, disokong oleh Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (Datuk Hajah Aiman Athirah binti Sabu) dan diluluskan]

draft5:10 PM

Datuk Dr. Haji Mustafa bin Musa

Alhamdulillah. Ahli-ahli Yang Berhormat, segala- galanya telah pun selesai dan telah pun diluluskan. Terima kasih kepada Menteri dan semua.

Ahli-ahli Yang Berhormat, Mesyuarat Dewan pada hari ini ditangguhkan sehingga jam 10 pagi hari Khamis, 23 Julai 2026. Terima kasih.

draft5:10 PM

[Dewan ditangguhkan pada pukul 5.14 petang]

Hak Cipta Terpelihara © 2026