Katalog Hansard
[Timbalan Yang di-Pertua **mempengerusikan Mesyuarat****]
Timbalan Yang di-Pertua
Dipersilakan pertanyaan pertama oleh Yang Berhormat Senator Tuan Niran Tan Kran.
Tuan Niran Tan Kran
Terima kasih Datuk Yang di-Pertua.
Daun mengkudu daun selasih, Ditabur atas Nasi Kerabu; Saya ucapkan berbanyak terima kasih, Mohon Menteri jawab soalan nombor satu.
1. Tuan Niran Tan Kran minta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan menyatakan, langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan dalam menangani masalah lambakan durian dari negara jiran yang menjejaskan pasaran tempatan dan hasil pekebun-pekebun kecil seluruh negara.
Timbalan Yang di-Pertua
YB Menteri.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan - Datuk Chan Foong Hin
Datuk Yang di-Pertua, dia pantun saya pun pantun juga.
Pergi ke dusun waktu pagi, Burung berkicau di hujung dahan; Bau menggoda memikat hati; Raja buah kita itulah durian
Timbalan Yang di-Pertua
Nampaknya ada talent baru dalam Dewan ini untuk buat pantun.
Datuk Chan Foong Hin
Okey, Tuan Yang di-Pertua. Andaian lambakan durian dari negara jiran adalah tidak berasas kerana kuantiti pengimportan durian dari negara jiran adalah sangat minima, sekitar dua peratus berbanding pengeluaran durian dalam negara. Kalau kita ambil negara Thailand sebagai contoh.
Berdasarkan data Sijil Pematuhan, Certificate of Compliance (COC), melalui sistem e3P, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), import durian dari Thailand mencatatkan penurunan drastik kuantiti import bagi tempoh Januari sehingga Jun 2026 sebanyak 36.67 peratus iaitu daripada 6606.86 metrik tan pada tahun 2025 kepada 4184.58 metrik tan bagi tempoh yang sama pada tahun 2026. Sekali gus, mengesahkan kemasukan agak terkawal tanpa sebarang lambakan.
Walau bagaimanapun, cabaran utama kini berpunca daripada pengeluaran dalam negara sepanjang musim puncak dari Jun sehingga Ogos tahun ini yang memberi kesan kepada lebihan bekalan. Bagi mengimbangi pasaran, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan
(KPKM) melalui FAMA bertindak melaksanakan strategi serampang dua mata melalui kawal selia pasaran dan pengoperasian Pelan Intervensi Buah-buahan Bermusim 2026 bagi menyerap lebihan bekalan tersebut.
Bagi memastikan kawal selia import dilaksanakan secara berkesan, FAMA menguatkuasakan peraturan-peraturan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan
(Penggredan, Pembungkusan dan Pelabelan Keluaran Pertanian) 2008 (Peraturan GPL) yang meliputi pemasaran di peringkat domestik, eksport dan import.
Selaras dengan pelaksanaan peraturan tersebut, sistem e3P diwajibkan kepada setiap pengimport bagi memastikan keperluan penggredan, pembungkusan dan pelabelan dipatuhi sebelum durian import dipasarkan di Malaysia. Pendekatan ini berperanan sebagai mekanisme kawal selia import iaitu salah satu jenis non-tariff measure bagi memastikan hanya durian import yang memenuhi standard yang ditetapkan dibenarkan memasuki pasaran tempatan.
Di samping itu, FAMA melaksanakan aktiviti inspektorat dan pemantauan pematuhan Peraturan GPL di peringkat pemborong dan peruncit bagi memastikan pelabelan termasuk negara asal dipaparkan dengan tepat supaya pengguna dapat membezakan di antara durian tempatan dan durian import serta membuat pilihan pembelian berdasarkan maklumat yang sahih.
Bagi memperkukuh integriti rantaian bekalan, FAMA sedang membangunkan Sistem Jejak GPL dengan durian sebagai projek perintis bagi meningkatkan kebolehkesanan dengan izin traceability product, memudahkan pengesanan asal-usul, memperkukuh ketelusan rantaian bekalan serta meningkatkan keyakinan pengguna terhadap kualiti dan keaslian durian tempatan.
Sebagai intervensi pasaran bagi tahun 2026, FAMA menganjurkan belian buah-buahan bermusim termasuk durian melalui Pusat Operasi FAMA sebanyak 1,000 metrik tan dengan nilai keseluruhan RM7 juta. Sehingga 12 Julai 2026, sebanyak 468.94 tan metrik telah dibeli secara langsung oleh FAMA bernilai RM2.87 juta. Manakala melalui rangkaian usahawan bimbingan FAMA, pembelian tak langsung telah mencapai 1550.73 tan metrik yang bernilai RM6.98 juta.
Sejajar dengan peningkatan pengeluaran durian negara, FAMA telah mengenal pasti beberapa langkah strategik bagi memperkukuh rantaian pemasaran durian negara. Di antaranya, memperluaskan pasaran eksport ke negara berpotensi seperti Kanada, United Kingdom, New Zealand, Jepun dan Maldives bagi mengurangkan kebergantungan kepada satu pasaran utama.
FAMA turut menjalinkan kerjasama dengan 13 Export Management Company melibatkan 10 negara sebagai penghubung strategik untuk mendapatkan pembeli berpotensi di luar negara melalui program padanan perniagaan, misi perdagangan dan promosi antarabangsa. Sekian, terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua
Terima kasih. Soalan tambahan Tuan Niran.
Tuan Niran Tan Kran
Terima kasih atas penjelasan yang lengkap. Sebenarnya, saya ada dua, tiga soalan nak tanya, tapi sekali gus dah jawab semua dah. Terima kasih.
Dato' Ng Keng Heng
Datuk Yang di-Pertua.
Timbalan Yang di-Pertua
Ladies first.
Dr. Hajah Wan Martina binti Wan Yusoff
Terima kasih Datuk Yang di-Pertua. Jawapan yang lengkap, terima kasih Timbalan Menteri.
Cuma, saya ingin bertanya semasa lambakan durian ini, adakah pihak kementerian atau pun jabatan-jabatan membuat kajian secara berterusan, bagaimana kita nak menghasilkan satu produk daripada durian yang boleh— boleh disimpan lama. Selain yang biasalah, lempuk durian.
Adakah ada kajian-kajian lain, produk yang orang kata premium yang boleh digunakan bila-bila masa? Terima kasih.
Datuk Chan Foong Hin
Terima kasih pada pertanyaan dari YB Senator Dr. Hajah.
Sebenarnya, dalam pasaran sekarang banyak produk hiliran telah dibangunkan oleh commercial sector atau pun dari MARDI juga. Sama ada durian— ais krim durian, ini piza durian, macam- macam telah dibangunkan, tetapi untuk mengingatkan pasaran ini, dia memerlukan durian sebagai premium, sebagai buah-buahan dia.
Datuk Chan Foong Hin
So, maksud dia, yang premium itu adalah keaslian buah-buahan tersebut. So, inilah yang cabaran kita kerana sekarang ini Malaysia sangat bergantung kepada pendekatan kita hendak tunggu durian runtuh, baharu kita kutip, baharu kita proses dan baharu kita packaging.
So, macam mana nak memendekkan jangka penghantaran dari Malaysia ke negara destinasi. Inilah salah satu cabaran yang utama. Dia bukan tak ada produk hiliran, tetapi pasaran lebih gemarkan durian asli atau durian segar. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua
Soalan tambahan. Saya kena benarkan Dato' Leong lah, kerana tempat beliau banyak durian. Silakan Dato’ Leong.
[Ketawa]
Dato' Leong Ngah Ngah
Terima kasih Datuk Speaker. Soalan tambahan. Tidak dinafikan dalam masa enam, tujuh tahun ini, penanam durian sudah banyak, banyak kebun sudah tanam semula durian. Jadi, eksport kurang, produk banyak. Saya fikir masalah ada eksport. Ada kerajaan sedia mencarikan pasaran dunia. Jika terhad kepada Malaysia sendiri, saya ingat dia tak cukup, dia memang tak boleh jualkan semua durian ada.
Jadi, kerajaan membantu mencari pasaran dunia dan sama juga memberikan lesen yang lebih supaya lebih ramai orang eksport durian ini ke dunia. Jadi, saya minta, saya haraplah ini dapat selesaikan masalah— nyatakan yang telah para pekebun durian. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua
Terima kasih. YB Menteri.
Datuk Chan Foong Hin
Terima kasih kepada pertanyaan dari Yang Berhormat Senator Dato’ Leong. Untuk menjawab soalan ini, sebenarnya tadi di jawapan asal itu saya ada sebut, kita tengah memperluaskan pasaran eksport kepada negara yang berpotensi seperti Kanada, United Kingdom, New Zealand, Jepun dan Maldives.
Cuma masalah dia sekarang yang kegemaran untuk durian ini kan sangat, sangat berkisar atau sangat tertumpu kepada pasaran China sebagai satu pasaran tunggal yang utama. So, inilah yang cabaran kita.
Dan kedua, untuk pengeksport-pengeksport yang ada minat nak eksport durian ke China ini kerana mematuhi protokol yang ditetapkan oleh GACC iaitu pihak Kastam dari negara China.
Bukan masalah untuk Kerajaan Malaysia untuk membenarkan atau membenarkan permohonan pelesenan. Cuma masalah dia sama ada pengilang tersebut atau pekebun tersebut dapat memenuhi keperluan yang ditetapkan oleh GACC dari pihak pembeli.
So, ini di antara cabaran yang di mana industry player harus mempertingkatkan daya tahan pesaing mereka dalam pasaran ini. Dan untuk landing, saya hendak menjemput Ahli-ahli Dewan Negara Senator pada hari Khamis ini kita akan buat edaran durian, okey. Untuk kesemua YB-YB Senator di sini okey.
Timbalan Yang di-Pertua
[Ketawa]
Datuk Chan Foong Hin
So, ingat lebih kurang 12.30 tengah hari atau pukul 1 tengah hari kita akan buat edaran durian. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua
Berapa biji satu orang?
Datuk Chan Foong Hin
Ha?
Timbalan Yang di-Pertua
Berapa biji seorang dapat?
[Ketawa]
Dato' Ng Keng Heng
Lima biji seorang. Datuk, soalan tambahan.
Timbalan Yang di-Pertua
Dato’ Ng nak tanya soalan fasal durian ya.
Dato' Ng Keng Heng
Ya.
Timbalan Yang di-Pertua
Baik, silakan.
Dato' Ng Keng Heng
*Confirm.
[Ketawa]*
Timbalan Yang di-Pertua
[Ketawa]
Dato' Ng Keng Heng
Ya. Sebelum ada soalan saya...
Timbalan Yang di-Pertua
Baik, silakan.
Dato' Ng Keng Heng
...Sebenarnya, pasaran durian hiliran itu, durian paste tu antara satu lah kaedah yang kita boleh settle. Okey, soalan tambahan saya ialah, mengapa pihak kementerian khususnya FAMA yang melalui pelan intervensi menetapkan harga lantai RM2.70 itu, bukan RM3. Dan mengapa tidak mengehadkan harga pasaran Musang King pada RM25 dan harga premium lain seperti IOI, D24 dan sebagainya RM10. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua
Ini soalan yang begitu teknikal macam datang dari pengusaha saja.
[Ketawa]
Datuk Chan Foong Hin
Dia mungkin ada durian kot.
Timbalan Yang di-Pertua
Mungkin ada durian.
[Ketawa]
Datuk Chan Foong Hin
Okey, untuk menjawab soalan ini kenapa kita letakkan harga lantai pada kadar RM2.70 sekilogram, ini sebenarnya dia lebih untuk kita membantu pekebun di kampung supaya Durian Kampung tak menghadapi kerugian yang berlebihan. So, dia lebih kepada Durian Kampung dulu.
Dato' Ng Keng Heng
Kenapa bukan RM3?
Timbalan Yang di-Pertua
Eh! Eh!
Datuk Chan Foong Hin
Okey.
Timbalan Yang di-Pertua
Sekejap Datuk. Jangan mencelah waktu Menteri menjawab.
[Ketawa]
Datuk Chan Foong Hin
Okey, boleh, boleh. So, kerajaan melalui FAMA kita akan memperhalusilah apa yang dibangkit oleh Yang Berhormat Senator. Sama ada kita boleh dapatkan bajet yang berlebihan, okey untuk menambah ke RM3. Cuma, ini buat sementara waktu ini kita masih tetap dengan RM2.70 lah satu kilo. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua
Memandangkan soalan durian— pasaran durian tahun ini banyak lambakannya, mungkin ada soalan lain saya hendak benarkan satu lagi.
[Ketawa]
Seorang Ahli
Wah.
Timbalan Yang di-Pertua
Tak ada. Maknanya semua dah puas makan durian dah. Eh, ada. YB Nasir.
Tuan Haji Abdul Nasir bin Haji Idris
Terima kasih Datuk Yang di-Pertua fasal diberi peluang untuk tanya bab durian ini. Yang pertamanya dulu dalam Dewan ini juga, saya rasa YB Menteri Keterjaminan Makananlah sebut dia baru balik daripada China untuk MoU durian ini. Jadi, kita hendak tanyalah, MoU itu sejauh mana ?
Kemudiannya yang kedua, nasib pekebun-pekebun durian ini saya tengok sepanjang perjalanan saya daripada Kedah ke KL inilah. Sepanjang jalan negeri Perak itu tanam pokok durian, cukup banyak, beribu-ribu hektar. Saya boleh bayangkan, apakah nasib masa depan pekebun-pekebun ini dengan situasi yang ada sekarang ini dengan barangkali kos, kos pembangunan durian itu mungkin— harga itu mungkin satu hari nanti mungkin tak laku.
Jadi, kita hendak minta pelan pihak kementerian untuk menangani isu ini. Tentang mungkin— hari ini lambakan mungkin taklah sebanyak itu, mungkin satu hari nanti durian kita ini tak laku di pasaran. Mohon penjelasan YB Timbalan Menteri. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua
YB Menteri.
Datuk Chan Foong Hin
Okey, nampaknya ramai YB Senator yang berminat dengan durian, okey. Untuk menjawab soalan daripada YB Senator Haji Abdul Nasir, okey. Saya kurang pasti apakah MoU yang YB yang sebut tadi mengenai YBM saya apabila pergi ke China, tapi setahu saya, beliau pergi China memeterai— bukan MoU, dia tolong— dia menandatangani ini protokol. Protokol untuk ini bird nest, bukan untuk durian yang baru-baru inilah.
Yang satu lagi untuk menjawab soalan yang untuk— macam mana hendak meningkatkan pasaran ini, sebenarnya minggu lalu kita baru adakan satu sesi libat urus bersama dengan pemain industri di pejabat saya dan kita berbincang dengan cara-cara untuk mempertingkatkan pemasaran. Kerana masalah sekarang ini, di antara kekangan dia, pasaran gemar fresh durian...
Timbalan Yang di-Pertua
Ya.
Datuk Chan Foong Hin
Pasaran dia gemar durian segar, tetapi cara kita eksport ke China cuma bergantung kepada satu jenis mode transport iaitu melalui air freight melalui udara, melalui penerbangan. So, di sana ada had dia, ada kekangan dia. So, sekarang kita tengah mengkaji sama ada kita hendak meminta GACC untuk berbincang lagi dengan protokol yang baharu supaya dapat membenarkan kita mencari jalan seperti jalan darat atau jalan laut untuk menghantar durian segar ke China.
Cuma ini dia kena berpandukan kepada kajian-kajian saintifik yang berasas dari MARDI dan juga Jabatan Pertanian Malaysia untuk memastikan post harvesting treatment dan sebagainya dapat memenuhi keperluan yang ditetapkan oleh GACC China dan ini masih dalam pra perbincangan. Sekian, terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua
Baik, terima kasih. Sekarang saya jemput Tan Sri Dato’ Low Kian Chuan.
Tan Sri Dato’ Low Kian Chuan
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Yang di-Pertua.
Soalan saya nombor 2.
2. Tan Sri Dato' Low Kian Chuan minta Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup menyatakan, adakah kerajaan bercadang untuk memperkenalkan rangka kerja ‘hak untuk membaiki’ (‘right to repair’) bagi kenderaan bermotor di Malaysia yang memberi akses kepada bengkel tempatan terhadap maklumat teknikal, alat ganti dan peralatan yang diperlukan bagi tujuan penyelenggaraan dan pembaikan kenderaan.
Timbalan Yang di-Pertua
YB Menteri.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup - Datuk Dr. Fuziah binti Salleh
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Bismillahirrahmanirrahim, assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih kepada Yang Berhormat Senator Tan Sri Low Kian Chuan di atas soalan.
Soalan ini Datuk Yang di-Pertua, soalan yang agak baharu ditanya dalam Dewan ini. Right to repair, terima kasih Tan Sri— Yang Berhormat Tan Sri di atas soalan ini.
Right to repair ataupun hak untuk membaiki merupakan satu konsep pengguna yang agak baharu di Malaysia dan belum lagi dilaksanakan di Malaysia. Namun, di negara-negara lain seperti Eropah, United Kingdom, Kanada, Australia dan Amerika Syarikat telah pun ada undang- undang berkaitan dengan perkara ini.
Di bawah konsep ini, konsep pengguna ini, pengguna diberi banyak pilihan untuk mendapatkan perkhidmatan pembaikan daripada dalam konteks soalan ini kenderaan bermotor, tapi dalam apa-apa sahaja, appliance ataupun electrical appliance dengan izin, Datuk Yang di- Pertua pun boleh juga memilih mana-mana bengkel untuk baik pulih, repair ataupun memberi service, perkhidmatan kepada kenderaan bermotor mereka.
Yang Berhormat Tan Sri, kalau dalam tempoh warranty, memang kita galakkanlah untuk pergi kepada bengkel yang authorized dealer dengan izin, kerana sekiranya tidak, maka warranty itu menjadi void. Namun, selepas tempoh warranty, memang pengguna ada pilihan untuk memilih bengkel-bengkel yang lain.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup - Datuk Dr. Fuziah binti Salleh
Bagaimana kita melindungi pengguna— pemilik kenderaan yang memilih bengkel- bengkel lain dalam keadaan kalau sekiranya ada masalah yang timbul? Mereka tidak berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberikan contohnya. Kalau mereka tak berpuas hati, mereka boleh buat aduan kepada Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia. Itu bagaimana kita melindungi pengguna.
Akan tetapi, persoalannya pula, bagaimana bengkel yang dipilih oleh pengguna tadi mahu mendapat akses kepada maklumat-maklumat berkenaan dengan kenderaan tersebut yang dimiliki oleh manufacturer ataupun authorise dealer itu?
Yang Berhormat, ketika ini, setakat ini, undang-undang kita di bawah Akta Perlindungan Pengguna, tidak ada memberi kita punca kuasa untuk mendapat maklumat akses kepada maklumat tersebut. Namun, perkara ini telah pun dibangkitkan oleh association or persatuan- persatuan bengkel-bengkel ya.
Jadi, dalam konteks hak pengguna Yang Berhormat Senator, dalam konteks hak pengguna, salah satu padanya ialah hak untuk mendapatkan maklumat. Jadi, saya sendiri berpandangan dan kementerian juga bersetuju bahawa hak ini harus kita cuba berikan kepada pengguna dan satu kajian harus dilaksanakan untuk memberikan hak ini kepada pengguna. Dan, mungkin boleh diwujudkan di bawah peraturan-peraturan di bawah Akta Perlindungan Pengguna berkenaan kepada hak untuk mendapat maklumat yang diminta ini.
Namun Datuk Yang di-Pertua, harus kita juga seimbangkan di antara hak manufacturer kerana ada intellectual property rights manufacturer. Dan kita mungkin terpaksa meletakkan had kepada maklumat yang boleh diakses terhadap kenderaan milik kita. Jadi, itulah dia way forward yang ketika ini tidak ada dalam peruntukan kerangka undang-undang, tapi sedang dikaji, akan dikaji dan akan ditambah baik. Terima kasih, Datuk Yang di-Pertua.
Timbalan Yang di-Pertua
Terima kasih YB Menteri. Isu ini pun bertambah rumit dengan kehadiran kereta EV yang sekarang ini memang dikuasai oleh pengilang ya. Okey, soalan tambahan Tan Sri Low.
Tan Sri Dato’ Low Kian Chuan
Terima kasih Yang Berhormat Timbalan Menteri atas jawapan diberikan. Jadi, konsep ini memang baru. Apakah— jika rangka kerja penuh right to repair tidak dilaksanakan secara menyeluruh, apakah langkah alternatif akan diambil bagi memastikan bengkel bebas tempatan terus berdaya saing dalam jangka panjang? Terima kasih.
Datuk Dr. Fuziah binti Salleh
Terima kasih di atas soalan tambahan Yang Berhormat Tan Sri. Seperti yang saya katakan tadi, memang kita nak bengkel itu berdaya saing. Sebab itu mereka perlu ada akses kepada maklumat, tetapi dia ada had dia dan saya kira kita kena lihat dari segi keseluruhan ya Datuk Yang di-Pertua. Kerana, kita lihat kepada negara-negara yang mengamalkan undang-undang ini, yang telah pun ada undang-undang ini, mungkin kerangka undang-undang itu dalam kerangka yang lebih besar di mana kematangan pengguna mereka, consumer mereka itu lebih tinggi. Mungkin juga ada undang-undang lain yang diguna pakai bersekali.
Jadi dengan itu, kementerian akan melaksanakan juga benchmarking untuk melihat kepada bagaimana undang-undang ini dilaksanakan di negara-negara lain. Terima kasih Datuk Yang di-Pertua.
Timbalan Yang di-Pertua
Baik. Soalan tambahan?
Kalau tak ada, saya pergi kepada soalan nombor 3. Saya jemput Dato’ Ahmad bin Ibrahim.
Dato’ Ahmad bin Dato’ Sri Haji Ibrahim
Terima kasih Datuk Timbalan Yang di-Pertua.
Tahniah sekali lagi, atas lantikan baru. Soalan saya nombor 3.
3. Dato' Ahmad bin Dato' Sri Hj. Ibrahim minta Menteri Pertahanan menyatakan, adakah kementerian bercadang memperkukuh pelaksanaan konsep pertahanan menyeluruh (HANRUH) dengan mengambil kira pengalaman Singapura, Finland, Switzerland dan Taiwan yang memberi penekanan kepada kesiapsiagaan seluruh negara melalui penglibatan sektor awam, sektor swasta dan masyarakat.
Timbalan Yang di-Pertua
YB Menteri.
Menteri Pertahanan - Dato’ Seri Haji Mohamed Khaled bin Nordin
Datuk Yang di- Pertua, pertama, tahniah atas pelantikan semula.
Timbalan Yang di-Pertua
Terima kasih.
Dato’ Seri Haji Mohamed Khaled bin Nordin
Saya ucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Senator Dato’ Ahmad bin Dato’ Sri Haji Ibrahim atas soalan ya.
Datuk Yang di-Pertua, Kementerian Pertahanan sememangnya sedang melaksanakan pengukuhan konsep pertahanan menyeluruh ataupun HANRUH sebagai teras pertahanan negara seperti yang telah digariskan dalam Kertas Putih Pertahanan dan Pelan Strategik Pertahanan Negara.
Dalam hal ini, kementerian sentiasa mengkaji amalan terbaik negara-negara seperti Singapura, Finland, Switzerland dan juga Taiwan dan negara-negara lain. Namun, pendekatan Malaysia perlu disesuaikan dengan keperluan strategik, sistem pentadbiran, kedudukan fiskal, geografi dan landskap keselamatan negara.
Prinsip Malaysia sama dengan negara-negara tersebut. Bahawa pertahanan negara bukan tanggungjawab Angkatan Tentera Malaysia sahaja, tetapi merupakan amanah seluruh negara. Hal ini kerana ancaman keselamatan ketika ini semakin kompleks dan datang dalam pelbagai bentuk. Justeru, pendekatan untuk menanganinya juga haruslah menyeluruh, bersepadu dan sentiasa adaptive.
Selain itu, bagi Malaysia, kekuatan negara bukan sahaja diukur melalui kesiapsiagaan ketenteraan, tetapi juga melalui kekuatan, perpaduan dan daya tahan rakyat. Maka atas sebab itulah kementerian terus memperkukuh konsep HANRUH sebagai asas untuk pertahanan negara. Dan kita lakukan itu melalui fokus-fokus berikut.
Pertama, pembudayaan konsep Whole-of-Government dan Whole-of-Society ataupun WoGoS dalam pertahanan negara. Dalam menghadapi ancaman moden yang semakin rumit dan sukar diduga, pertahanan memerlukan kerjasama rentas kementerian, agensi, kerajaan, sektor swasta, rakan korporat dan juga masyarakat. Pendekatan ini telah mula dilaksanakan di Pulau Banggi yang menggabungkan pelbagai agensi bagi memperkukuh keselamatan dan kesejahteraan komuniti tempatan pulau tersebut. Dalam konteks ini, rakyat tempatan juga berperanan sebagai mata dan telinga negara.
Kedua, pemerkasaan Civil Military Cooperation (CIMIC) atau kerjasama antara tentera dan juga masyarakat. Komitmen kementerian dalam memperkukuh CIMIC dapat dilihat melalui peningkatan peruntukan tahunan yang konsisten daripada RM2.65 juta pada tahun 2023 kepada RM20 juta pada tahun 2026. Antaranya melalui Program Jiwa Murni dan juga Program Ilmu dan Muafakat yang mengeratkan hubungan antara ATM dan masyarakat.
Ketiga, pengukuhan Angkatan Simpanan Negara seperti Askar Wataniah serta Pasukan Simpanan TLDM dan TUDM selaras dengan sasaran kementerian untuk mencapai nisbah 1:1 antara anggota tentera tetap dan anggota simpanan.
Keempat, pembinaan generasi muda yang berjiwa besar, cintakan negara dan memahami soal pertahanan negara melalui pelaksanaan Program Latihan Khidmat Negara iaitu PKLN dan Pasukan Latihan Pegawai Simpanan iaitu PALAPES.
Kelima, permulaan pelaksanaan Program Literasi Pertahanan yang diterajui oleh Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa Malaysia (MIDAS) dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) bagi meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai kepentingan pertahanan, ancaman keselamatan semasa serta peranan setiap rakyat dalam memastikan keamanan negara.
Kesimpulannya, HANRUH adalah satu pendekatan nasional untuk membina negara yang lebih berdaya tahan, bersatu dan bersedia menghadapi apa jua bentuk ancaman. Kementerian Pertahanan akan terus memperkukuh konsep HANRUH dalam pertahanan negara agar setiap lapisan masyarakat memainkan peranan masing-masing dalam memelihara kedaulatan, keselamatan dan kepentingan negara. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua
Terima kasih YB Menteri. Soalan tambahan, Dato’ Ahmad Ibrahim.
Dato’ Ahmad bin Dato’ Sri Haji Ibrahim
Terima kasih Dato’ Menteri. Datuk Yang di- Pertua, sejak kebelakangan ini, terdapat laporan mengenai kehadiran kapal penyelidikan asing di kawasan Beting Patinggi Ali, yang berada dalam Zon Ekonomi Eksklusif Malaysia di luar pesisir Sarawak.
Walaupun bukan merupakan konflik bersenjata, adakah kementerian melihat perkembangan ini sebagai satu bentuk ancaman keselamatan atau cabaran terhadap hak kedaulatan negara?
Dato’ Ahmad bin Dato’ Sri Haji Ibrahim
Tidakkah keadaan ini membuktikan bahawa Konsep Pertahanan Menyeluruh (HANRUH) perlu dipercepatkan supaya tidak— maaf, supaya bukan sahaja Angkatan Tentera Malaysia malah agensi kerajaan, sektor swasta dan rakyat sentiasa bersedia menghadapi ancaman konvensional serta ancaman kelabu— grey zone trades dengan izin, pada masa hadapan.
Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua
YB Menteri.
Dato’ Seri Haji Mohamed Khaled bin Nordin
Terima kasih Yang Berhormat. Memang kita tidak nafikan bahawa perkara-perkara yang dinyatakan oleh Yang Berhormat itu berlaku, kerana kita terima hakikat bahawa Laut China Selatan merupakan antara kawasan yang terdapatnya tuntutan bertindih antara negara kita dan beberapa negara lain, China, Vietnam dan juga Philiphine.
Dan juga, kita sedia maklum bahawa Laut China Selatan merupakan satu kawasan di mana berlakunya adu kuasa antara kuasa-kuasa besar. Oleh itu, kita sentiasa mengambil pendekatan yang sewajarnya bagi memastikan kita boleh berhadapan dengan cabaran-cabaran tersebut secara ketenteraan. Dan, pada masa yang sama, kita juga beri penekanan kepada soal bagaimana Konsep Pertahanan Menyeluruh boleh membantu kita dalam kita melaksanakan peranan dan tanggungjawab kita untuk menjaga kedaulatan dan juga keselamatan tanah air.
Jadi, dalam konteks kehadiran mana-mana kapal daripada mana-mana negara yang mencerobohi kawasan-kawasan kita, kita mengambil tindakan pertamanya supaya tidak ada peningkatan konflik supaya kita dapat elak berlakunya apa-apa konflik yang melibatkan persenjataan dan sebagainya. Kita lebih menggunakan diplomasi, engagement, pertemuan, perbincangan dan sebagainya.
Itu pendekatan kita yang selari dengan pendekatan ASEAN. Kita harus faham ASEAN is for peace, ASEAN adalah untuk keamanan dan atas sebab itulah kita mengambil pendekatan berkecuali dan kita juga memastikan berlakunya perimbangan supaya dengan adanya perimbangan, kehadiran kuasa-kuasa besar dan tumpuan daripada pelbagai negara dalam kawasan kita itu sahaja menjadi satu credible deterrence supaya tidak berlaku perkara-perkara yang tidak baik yang datangnya daripada negara-negara lain yang mempunyai niat jahat kepada negara kita.
Timbalan Yang di-Pertua
Soalan tambahan.
Dato’ Setia Salehuddin bin Saidin
Soalan tambahan.
Datuk Edward Linggu Bukut
Soalan tambahan.
Timbalan Yang di-Pertua
Tadi dah ada Sarawak, bagi Semenanjung pulalah.
Dato’ Setia Salehuddin bin Saidin
Semenanjung pula.
Timbalan Yang di-Pertua
Bagi Dato’ Salehuddin.
[Ketawa]
Dato’ Setia Salehuddin bin Saidin
Terima kasih Datuk Speaker. Terima kasih YB Menteri. Konsep HANRUH ini satu konsep yang mungkin rakyat masih belum benar-benar mahir tentang pertahanan menyeluruh yang konsep diperkenalkan oleh pihak kerajaan. Mungkin soalan saya boleh ditanya dua soalan.
Pertama berkaitan dengan kesedaran rakyat terutamanya bagi golongan muda untuk menyertai askar wataniah, PALAPES dan sebagainya. Sejauh manakah pihak kerajaan menggunakan kesempatan di dalam, di institusi pengajian tinggi untuk menggalakkan anak-anak muda ini untuk terlibat di dalam askar-askar wataniah dan juga PALAPES? Disebabkan saya rasa daripada apa yang saya baca, memang agak kurang, agak sukar untuk mendapat penglibatan anak-anak muda.
Dan, mungkin satu lagi soalan berkaitan dengan cabaran global geopolitik akibat peperangan di Iran yang mana tumpuan negara dunia sekarang kepada Laut China Selatan.
Jadi adakah— sejauh manakah kerajaan kementerian bersiap-siaga di dalam hal yang melibatkan mungkin timbul isu-isu berkaitan dengan terusan ataupun Laut Selat Melaka tersebut?
Adakah berlakunya nanti isu berkaitan dengan ada pihak-pihak dunia yang claim ataupun diletakkan tentera ataupun pengawalan dan sebagainya, adakah kita boleh anticipate perkara ini berlaku di masa yang akan datang? Terima kasih Datuk Speaker.
Timbalan Yang di-Pertua
Yang Berhormat Menteri. Panjang soalan itu. Saya benarkan satu soalan, Dato’ tanya dua.
[Ketawa]
Dato’ Seri Haji Mohamed Khaled bin Nordin
Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Setia Salehuddin. Memang soalannya meliputi pelbagai perkara, lebih luas daripada soalan asal yang telah dikemukakan...
Timbalan Yang di-Pertua
Jadi terpulang kepada Menteri hendak jawab.
[Ketawa]
Dato’ Seri Haji Mohamed Khaled bin Nordin
Saya cuba. Sebab dengan penjelasan tentunya ada kefahaman dan dengan kefahaman Ahli-ahli Yang Berhormat semua akan sama- sama mempunyai kesedaran untuk membantu bagaimana kita hendak jayakan pertahanan negara.
Memang dalam soal untuk menjayakan HANRUH, salah satu daripada perkara yang sangat penting ialah bagaimana kita budayakan perkara ini di kalangan masyarakat. Atas sebab itulah di peringkat kementerian, kita melaksanakan pelbagai pendekatan dalam usaha kita supaya HANRUH itu benar-benar dapat dijayakan dan menyumbang kepada matlamat kita supaya semua pihak sama-sama ambil tanggungjawab untuk mempertahankan negara.
Atas sebab itu, kalau kita lihat dalam soal untuk kita membina dan memperkukuhkan semangat patriotisme dan kesiapsiagaan rakyat terutamanya golongan belia, kementerian melaksanakan inisiatif seperti Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dan juga Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES).
Untuk PLKN, Fasa Pertama kita telah buat di kalangan belia-belia dan orang luar. Dan sekarang ini, kita telah pun mulakan pelaksanaan dalam IPT bermula dengan Universiti Sultan Idris. Fasa pertama sebagai satu permulaan, di mana kita melibatkan semua pelajar-pelajar di IPTA dan ianya akan diperluaskan. Maknanya selain daripada PALAPES, kita ada PLKN yang akan mula dilaksanakan pada tahun ini yang akan melibatkan, sehingga setiap tahun, 100 ribu pelajar-pelajar.
Untuk menjawab soalan Yang Berhormat, dari segi soal anak muda terutamanya pelajar- pelajar universiti. Jadi program kementerian dalam soal memperkukuhkan semangat patriotisme dan kesiapsiagaan rakyat terutamanya golongan belia dengan program tersebut. Bagi menyemarakkan semangat kerjasama dan merapatkan hubungan antara masyarakat awam dan tentera, Kementerian Pertahanan, kita melaksanakan inisiatif kerjasama awam-tentera seperti Program Jiwa Murni, Program Ilmu dan Muafakat dan juga Karnival CIMIC.
Semua ini bertujuan supaya kita bukan sahaja meletakkan keyakinan masyarakat terhadap angkatan tentera, tetapi kita ingin mewujudkan satu hubungan yang rapat, akrab antara angkatan tentera dan masyarakat supaya dalam adanya hubungan itu, masyarakat akan disedarkan mengenai peranan dan tanggungjawabnya. Kita bukan hendak suruh rakyat angkat senjata, tetapi sekurang-kurangnya rakyat faham tanggungjawab tentera dan mereka juga dapat dipupuk nilai-nilai patriotisme dan sayangkan negara.
Rakyat perlu pastikan mereka berada dalam keadaan bersatu padu, meningkatkan, memastikan ada perpaduan di kalangan mereka. Jangan porak-perandakan negara. Sebab itu semua akan menggagalkan ataupun akan merumitkan peranan angkatan tentera untuk melaksanakan tanggungjawab. Dalam menangani cabaran daripada luar, toleh ke belakang rakyat berpecah-belah, tak ada perpaduan, tindakan dan pendirian rakyat berasaskan mereka datang daripada blok mana dan sebagainya.
Jadi dalam hal ini, kita harap parti-parti politik faham, jangan menyebabkan rakyat berpecah-belah setiap masa. Kalau hendak buat pendirian berpecah-belah semasa kempen pilihan raya itu okey, tapi lepas itu jangan sentiasa buat rakyat dalam keadaan berpecah-belah.
[Tepuk]
Timbalan Yang di-Pertua
[Ketawa]
Dato’ Seri Haji Mohamed Khaled bin Nordin
...Dan, begitu juga bagi meningkatkan kefahaman masyarakat tentang soal pertahanan, keselamatan negara, kita akan melaksanakan Program Literasi Pertahanan, kita akan lancarkan tak lama lagi. Ini supaya rakyat faham cabaran yang dihadapi. Cabaran sekarang bukan sahaja tradisional, tetapi termasuk bukan tradisional.
Dan, cabaran itu datang dalam pelbagai bentuk. Yang paling mustahak untuk kita faham, kita tak tahu kalau ada cabaran dan serangan terhadap negara kita di dalam bentuk yang macam mana?
Negara kita— benar seperti yang dikatakan merupakan dalam rantau kawasan yang diberi perhatian oleh dunia kerana pertama ada Selat Melaka.
Dato’ Seri Haji Mohamed Khaled bin Nordin
Itu laluan yang paling penting bagi perdagangan dunia. Satu pertiga perdagangan dunia melalui Selat Melaka. Banyak negara yang di luar lingkungan Selat Melaka telah menyatakan bahawa mereka mahu turut terlibat dalam soal menjaga, melindungi laluan Selat Melaka, tetapi negara-negara litoral yang berada di sekeliling Selat Melaka seperti Malaysia, Indonesia, Singapura, Thailand menyatakan bahawa kita berkemampuan untuk jaga Selat Melaka, tapi banyak negara menyatakan mereka nak terlibat. Negara sahabat dan bukan sahabat dan itu sentiasa menjadi cabaran kepada kita. Kita tolak.
Begitu juga Laut China Selatan seperti yang telah saya nyatakan tadi. Dia kawasan tuntutan bertindih. Ia akan jadi kawasan di mana berlakunya adu kekuatan antara kuasa-kuasa besar. Kita tak boleh nak elakkan. Itu cabaran kepada kita.
Pada masa yang sama, kita sentiasa ditekan untuk menyertai mana-mana blok yang terdapat dalam dunia pada hari ini, tetapi kita terus tekankan sikap dan pendirian berkecuali kita.
Kalau kita pilih mana-mana blok kalau berlaku peperangan, negara kita juga akan menjadi medan peperangan antara kuasa-kuasa besar.
Kita harus faham seperti saya kata tadi, ASEAN is for peace, ASEAN is for peace.
Pendekatan kita walaupun ada negara kuasa besar tekankan iaitu keamanan itu mesti melalui kekuatan, tetapi kita kata keamanan itu melalui dialog, melalui pertemuan, melalui engagement dan perbincangan supaya kita dapat teruskan keamanan, tapi bagi negara lain, keamanan itu mesti kita mempunyai segala kekuatan kerana mungkin jalan penyelesaiannya hanya perang, tapi kita tidak pilih keadaan itu. Itulah cabaran.
Banyak lagi yang kita hadapi. Kita berhadapan dengan peperangan biasa, peperangan asymmetrical, peperangan kognitif. Peperangan kognitif maknanya penggunaan media sosial untuk menguasai pemikiran rakyat, persepsi, fitnah, cakap separuh, sebagainya. Rakyat akan hilang ketahanan dan daya untuk bertahan. Jadi, boleh jadi ceramah. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua
Masalahnya Menteri tak ada, tak ada masa nak beri ceramah Dato’ Seri...
Tuan Haji Hussin bin Ismail
Soalan tambahan Yang Berhormat.
Timbalan Yang di-Pertua
Soalan tambahan? Prof. Inayah nak tanya? Boleh. Saya beri satu lagi soalan daripada pihak akademik.
Tuan Haji Hussin bin Ismail
Sini lagi satu...
Timbalan Yang di-Pertua
Akademik.
[Ketawa]
Dato' Seri Prof. Dr. Noor Inayah binti Ya’akub
Terima kasih, terima kasih Yang di- Pertua. Assalamualaikum YB. YB telah pun menyentuh sedikit sebentar tadi sebelum saya bertanya. Cuma saya berharap YB kongsikan sedikit lagi— bagaimana kerajaan mengintegrasi aspek ancaman selain tradisional. Bermaksud aspek ancaman serangan siber dalam konsep HANRUH. Terima kasih.
Dato’ Seri Haji Mohamed Khaled bin Nordin
Itu yang saya sebut soal cognitive warfare dan saya sebut mengapa kita perlu laksana HANRUH kerana dalam ancaman dan cabaran moden pada hari ini, peperangan bermula tidak semestinya melalui pertentangan antara pasukan-pasukan keselamatan. Dia akan lakukan dengan menguasai media sosial kita dan sebagainya. Begitu juga dalam soal melumpuhkan segala kita punya— kita punya instrumen seperti siber, melalui siber dan sebagainya.
Atas sebab itulah kita di peringkat Kementerian Pertahanan dalam soal pertahanan, kita sedang merangka usaha untuk kita membangunkan pasukan siber sebagai pasukan yang keempat kerana kita dapati bahawa itu sesuatu yang memang tak boleh nak dielakkan. Ia dalam peringkat perancangan lagi. Kita sedar akan cabaran daripada situ. Kita juga sedang sedarkan kepada masyarakat bahawa serangan boleh berlaku melalui itu yang mana rakyat menjadi pemain utama.
Kalau kita lihat di Iran sebelum mereka menyerang— sebelum Iran diserang kita dapati rakyat Iran yang berdemonstrasi dan sebagainya yang mendapat maklumat bahawa kerajaan yang sedia ada itu tak kuat, lemah. Kalau rakyat bersama berdemonstrasi dan tak menyokong kerajaan sedia ada, kerajaan itu boleh jatuh dan akan jatuh. Atas sebab itu lah saya sebut fasal soal daya tahan dan kekuatan untuk bertahan yang ada pada rakyat Iran, kita berharap supaya rakyat Malaysia pun begitu.
Kalau kita lihat pada rakyat China pula— China, China, China pula, mereka— matlamat utama mereka ialah untuk pastikan negara mereka sentiasa bermaruah. Negara mereka sentiasa dalam keadaan boleh menangani apa sahaja cabaran. Jadi bagaimana? Atas sebab itu lah mereka menekankan pada soal penguasaan ilmu. Mereka berpendapat kalau mereka menguasai ilmu, mereka boleh bantu negara mereka supaya kuat dan sentiasa bermaruah. Kita berharap rakyat Malaysia di sini pun begitu jugalah.
Timbalan Yang di-Pertua
Terima kasih YB Menteri. Jawapan yang mantap. Tak perlu jadi jeneral untuk nak bagi ceramah pertahanan negara.
[Ketawa] Terima kasih YB Menteri.
Duduk, duduk, cukup, cukup. Kita pergi kepada soalan nombor 4, saya jemput Datuk Edward Linggu Bukut.
Datuk Edward Linggu Bukut
Terima kasih Datuk Speaker. Selamat pagi semua dan soalan saya nombor 4.
4. Datuk Edward Linggu Bukut minta Menteri Dalam Negeri menyatakan:
(i) apakah tahap keberkesanan strategi menangani penyalahgunaan dadah sintetik di Sabah, termasuk status pembangunan kemudahan pemulihan dan rawatan baharu, keupayaan menampung peningkatan penagih; dan
(ii) apakah langkah memperkukuh penguatkuasaan membanteras rangkaian pengedaran dadah di Wilayah Sabah.
Timbalan Yang di-Pertua
YB Menteri.
Timbalan Menteri Dalam Negeri - Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar bin Haji Nasarah
Bismillahirrahmanirrahim Datuk Yang di-Pertua. Yang Berhormat, berdasarkan Statistik Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) bagi tempoh Januari hingga Mac 2026, seramai 3,553 orang telah dikesan terlibat dengan penyalahgunaan dadah dan bahan di Negeri Sabah.
Daripada jumlah tersebut Yang Berhormat, ATS merupakan jenis dadah yang paling banyak disalah guna melibatkan 3,459 orang diikuti kategori lain-lain seramai 57 orang dan ganja seramai 26 orang. Trend ini Yang Berhormat menunjukkan penyalahgunaan dadah sintetik khususnya ATS kekal menjadi cabaran utama di Sabah.
Bagi menangani isu tersebut Yang Berhormat, AADK melaksanakan pendekatan bersepadu merangkumi pencegahan, penguatkuasaan dan rawatan dan pemulihan. Kalau dari sudut pencegahan, AADK mengguna pakai model i-Cegah yang mengintegrasi pendekatan pencegahan umum, selektif dan berfokus mengikut tahap risiko kumpulan sasaran.
Pelbagai program turut dilaksanakan di peringkat komuniti dan institusi pendidikan seperti Kampung Aspirasi Bebas Dadah, SKUAD Antidadah, Kem PINTAR 2.0, Kem Eksplorasi Potensi Murid, Program Siswa Aktif Gagasan Aspirasi, Program Keluarga Prihatin serta Program Tempat Kerja Bebas Dadah dan lain-lain program lagi. Ini bagi meningkatkan kesedaran, memperkukuhkan daya tahan masyarakat serta menggalakkan pengesanan awal penyalahgunaan dadah.
Yang Berhormat, dalam aspek penguatkuasaan, KDN melalui Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Polis Diraja Malaysia telah mempergiatkan tindakan terhadap penyalahgunaan dadah dan pengedaran dadah. Bagi tempoh Januari hingga Mei 2026, Jabatan Siasatan Jenayah Sabah telah merekodkan 6,993 kes dengan 7,334 tangkapan termasuk 4,626 kes di bawah seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang melibatkan kesalahan penyalahgunaan dadah.
Dalam tempoh yang sama, seramai 318 penagih berulang telah ditangkap di bawah seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952.
Yang Berhormat di samping itu, JSJN Sabah telah berjaya menumpaskan sembilan sindiket pengedaran dadah bagi tempoh Januari–Mei 2026 berbanding enam sindiket pada tempoh yang sama pada tahun 2025 dengan jumlah rampasan sebanyak 4,246 kilogram.
Kejadian ini disokong melalui kerjasama strategik bersama dengan JSJN Bukit Aman, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia khususnya dalam aspek risikan, perkongsian maklumat, penyelarasan operasi serta pengawasan pintu masuk negara.
Kerjasama ini Yang Berhormat, diperkukuhkan memandangkan sebahagian besar bekalan dadah ke Sabah dikesan memasuki negeri tersebut melalui kargo udara, perkhidmatan kurier, laluan laut dari Semenanjung Malaysia.
Bagi memperkukuhkan kapasiti rawatan dan pemulihan di Sabah, pembinaan Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Tawau telah diluluskan dalam Rolling Plan Kelima, RMK-12 dengan kos sebanyak RM157.031 juta yang dijangka meningkatkan keupayaan menampung klien khususnya di Pantai Timur Sabah.
Timbalan Menteri Dalam Negeri - Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar bin Haji Nasarah
Dan kerajaan akan terus perkukuhkan pendekatan bersepadu melalui kerjasama erat pelbagai agensi kuat kuasa dan masyarakat bagi membanteras isu ini Yang Berhormat. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua
Soalan tambahan Datuk Edward.
Datuk Edward Linggu Bukut
Terima kasih Yang Berhormat Timbalan Menteri, Datuk Speaker. Saya dengar penjelasan Yang Berhormat Timbalan Menteri nampaknya keadaan di Sabah ini agak kritikal dengan dadah. So, mohon kementerian ataupun kerajaan pertingkatkan lagi pemantauanlah.
Soalan tambahan saya ialah, baru-baru ini rampasan lebih kurang 323 kilogram syabu dan cecair fentanyl di Tawau menimbulkan kebimbangan bahawa Sabah semakin menjadi laluan transit sindiket antarabangsa. Apakah strategi khusus kementerian bagi membendung ancaman ini?
Dan mohon pencerahan daripada kementerian juga berapakah jumlah aset, wang tunai dan harta sindiket dadah di Sabah yang telah disita atau dilucutkan dalam tempoh lima tahun lalu serta adakah kementerian bersetuju bahawa kejayaan sebenar memerangi dadah bukan hanya diukur melalui jumlah rampasan ataupun tangkapan, tetapi sejauh mana kewangan sindiket dapat dilumpuhkan. Terima kasih.
Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar bin Haji Nasarah
Terima kasih Yang Berhormat.
Kelicikan sindiket penyeludupan dan pengedaran dadah ini Yang Berhormat, kita terus pantau dan kenal pasti oleh kementerian. Sebenarnya kedudukan geografi di negeri Sabah yang bersempadan dan berhampiran dengan negeri jiran dengan Indonesia, dengan Filipina, ini menjadi tarikan utama sindiket untuk jadikan Sabah sebagai laluan transit dadah ke negara lain.
Ini cabaran. Walau bagaimanapun, strategi dan pengukuhan tindakan risikan daripada agensi di bawah kita terutama sekali PDRM, juga tindakan operasi rentas agensi secara berterusan menjadi sandaran utama yang kita lakukan bagi mengekang permasalahan ini.
Dan bagi menangani ancaman ini, kita ada beberapa strategi. Antaranya ialah kita perkukuhkan kawalan sempadan darat, udara, laut khususnya di kawasan-kawasan yang berisiko di Tawau, di Sandakan, di Lahad Datu dan sebagainya termasuk di Semporna. Kita juga tingkatkan risikan operasi khas terutama menangani isu-isu rangkaian sindiket dan sebagainya dan kita perkukuhkan kerjasama rentas sempadan dengan negara jiran dengan Indonesia, dengan Filipina, dengan Brunei melalui perkongsian maklumat dan juga kerjasama melalui beberapa memorandum yang kita ada.
Dan tentunya kita manfaatkan teknologi penguatkuasaan termasuk penggunaan analisis risikan, pengimbas dron, peralatan pengesanan modem dan sebagainya. Dan kita perkukuhkan tindakan-tindakan penguatkuasaan terhadap aset sindiket termasuk menyita penyata kewangan, perlucutan harta dan sebagainya.
Yang Berhormat, mengenai angka yang diminta tadi saya tak dapat bagi secara detil, saya bagi secara bertulis Yang Berhormat.
Timbalan Yang di-Pertua
Baik terima kasih. Soalan tambahan. Ha, Dato' Leong.
Dato' Leong Ngah Ngah
Terima kasih Datuk Speaker. Soalan tambahan. Kita selalu nampak, sentiasa nampak pihak kerajaan tangkap dadah, tangkap pengedar, tetapi tak nampak macam mana dadah yang ditangkap dihapuskan. Jadi, persepsi orang ramai, ke mana dadah ditangkap itu pergi, ke mana? Jadi, adakah kerajaan bercadang untuk membakar, menghapuskan dadah yang ditangkap secara umum, announce dalam paper bagi orang nampak, tahu dadah tangkap sudah hapus, sudah bakar. Sekian, terima kasih.
Seorang Ahli
Dia jual balik.
Timbalan Yang di-Pertua
YB Menteri, macam mana nak bakar dadah?
[Ketawa]
Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar bin Haji Nasarah
Yang Berhormat, semua dadah dan bahan-bahan yang terlarang yang dirampas oleh kerajaan kita punyai kaedah untuk pelupusan dan sebagainya. Namun demikian, kalau kita nak lihat keberkesanan strategi menangani penyalahgunaan dadah ini, kalau kita lihat dari segi kejayaan kitalah, kalau kita ukur contohnya tahap kepulihan klien kita misalnya di AADK, kita dapat lihat ada peningkatan dari segi trend dari tahun ke tahun.
Kalau saya rujuk di Sabah sebab angka saya ada― di sini ialah berkaitan di Sabah.
Sebanyak 55 peratus pada tahun 2021― ini penurunan, tengok! Sebanyak 72 peratus pada tahun 2022; 75 peratus pada tahun 2023; 79 peratus pada tahun 2024; serta 81 peratus pada tahun 2025 di seluruh negara termasuk di Sabah. Ini menunjukkan tahap kepulihan yang kita dapat lakukan.
Bagi tempoh Januari hingga Mac 2026, kadar kepulihan klien capai pada tahap 88 peratus. Ini melibatkan seramai 5,176 orang klien yang mencapai status kekal pulih daripada 5,854 orang klien yang dinilai. Manakala, seramai 678 orang klien yakni 28 peratus tidak mencapai tahap kepulihan. Maknanya kadar kepulihan itu tinggi. Ini kalau kita ukur dari segi kejayaan kitalah.
Soal penghapusan barang-barang rampasan itu kita memang ada kaedah kita dan ia tertakluk dan mengikut peraturan undang-undang yang kita ada. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua
Jadi, bukan bakar je lah, ada cara lain?
[Ketawa] Terima kasih.
Soalan tambahan?
Datuk Nelson W Angang
Ya Timbalan Speaker.
Timbalan Yang di-Pertua
Baik. Silakan, silakan YB.
[Ketawa]
Datuk Nelson W Angang
Terima kasih Timbalan Menteri, Speaker. Yang Berhormat Timbalan Menteri, di Sabah ini memang kita tahu mempunyai cabaran masalah dengan pendatang-pendatang pelarian perang dan pemegang-pemegang IC IMM13 ini― minta maaf, dokumen IMM13 dan sering kali kes-kes berhubung kait dengan dadah ini ada kaitan dengan penempatan-penempatan pelarian-pelarian perang, pemegang-pemegang dokumen ini. Dan kebanyakan kes-kes yang dibawa di mahkamah boleh dilihat adalah di kalangan mereka ini.
Adakah YB Menteri bersetuju bahawa salah satu sebab utama kenapa cabaran banyak kes dadah ada di Sabah ini disebabkan hubung kaitnya dengan kehadiran— kehadiran pelarian- pelarian perang, penempatan-penempatan daripada sebagai contoh pelarian Filipina ini yang sudah lama di Sabah. Dan kebanyakan serbuan-serbuan yang dibuat dan rampasan yang dibuat adalah daripada penempatan-penempatan ini. Adakah pihak kementerian bersetuju bahawa kes- kes kebanyakannya memang berhubung kait, kes-kes dadah ini berhubung kait dengan kehadiran mereka? Dan apakah strategi daripada pihak kementerian untuk menangani masalah spesifik ini berhubung kait dengan masalah dadah di Sabah? Terima kasih.
Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar bin Haji Nasarah
Saya tak nafikan itu satu daripada faktor. Namun demikian, pelbagai faktor yang menyebabkan isu dadah di Sabah, sempadan yang begitu luas, kita berada di berhampiran dengan negara jiran dan sebagainya. Namun, kes-kes yang melibatkan penagih-penagih atau pesalah guna dadah daripada pendatang asing yang ditangkap oleh KDN, kita biasanya akan hantar kepada pihak imigresen untuk dihantar pulang ke negara asal.
Yang Berhormat, saya kongsikan sedikit. Berdasarkan― banyak ceramah Yang Berhormat. Berdasarkan statistik bagi tahun 2023 hingga 2026, jumlah penagih dan penyalahgunaan dadah serta bahan yang direkodkan di Sabah bagi tempoh 2023 hingga 2025, dia menunjukkan trend yang berubah-ubah. Pada tahun 2023, seramai 8,567 orang telah direkodkan. Jumlah tersebut meningkat kepada 9,207 orang pada tahun 2024 iaitu pertambahan sebanyak 640 orang atau 7.5 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Walau bagaimanapun, tahun 2025, jumlah direkodkan menurun kepada 8,625 iaitu pengurangan sebanyak 547 orang atau 5.9 berbanding tahun 2024. Secara keseluruhannya, jumlah kes tahun 2025 adalah menyamai jumlah yang direkod pada tahun 2023. Jadi kes berubah-ubah. Jadi, kita memang menyedari cabaran ini. Kita ada angka daerah yang tertinggi taburan— Kota Kinabalu misalnya ini daerah yang paling tinggi kes yang terlibat dan daerah- daerah lain pun ada.
Apa pun KDN melalui AADK, kita memang ada rekod. Kita kenal pasti di mana kawasan- kawasan berisiko tinggi, apa cabaran yang kita hadapi. Sebab itu kita menangani semua isu ini melalui pelbagai kaedah dan pendekatan yang kita lakukan.
Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar bin Haji Nasarah
Kita fokus kepada rakyat Malaysia. Kepada rakyat bukan warganegara, kita akan lakukan kerjasama dengan Imigresen untuk segera hantar ke negara asal. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua
Terima kasih YB. Menteri. Sekarang saya jemput Datuk Anna Bell Perian.
Datuk Anna Bell @ Suzieana binti Perian
Terima kasih Datuk Yang di-Pertua, soalan saya nombor 5.
5. Datuk Anna Bell @ Suzieana binti Perian minta Menteri Kesihatan menyatakan, apakah usaha pihak kerajaan dalam memastikan perkhidmatan kesihatan sampai ke kawasan-kawasan terpencil seperti kawasan jajaran pulau dan kawasan pedalaman yang sukar diakses seperti kebanyakan tempat di Sabah dan Sarawak.
Timbalan Yang di-Pertua
Yang Berhormat Menteri.
Timbalan Menteri Kesihatan - Dato Hajjah Hanifah Hajar Taib
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.
Datuk Yang di-Pertua, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berusaha memastikan setiap rakyat mendapat akses kepada perkhidmatan kesihatan yang berkualiti, saksama dan berterusan tanpa mengira lokasi termasuk di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak. Terkini, fasiliti kesihatan premier yang terdapat di kawasan luar bandar dan pedalaman di Sabah dan Sarawak adalah 427 fasiliti. Bagi meningkatkan akses kepada perkhidmatan kesihatan, KKM melaksanakan beberapa inisiatif utama seperti yang berikut.
Pertama, memperkukuh perkhidmatan klinik bergerak (PKB) melalui pengangkutan darat, air dan udara mengikuti kesesuaian geografi. Sehingga kini, PKB telah memberi manfaat kepada hampir 66,000 penduduk di Sabah melalui lawatan ke 416 lokaliti manakala di Sarawak, perkhidmatan ini telah memberi manfaat kepada hampir 95,000 penduduk melalui lawatan ke 1,031 lokaliti.
Kedua, walaupun terdapat kekangan liputan Internet dan infrastruktur telekomunikasi di beberapa kawasan pedalaman di Sabah dan Sarawak, KKM terus memperkukuhkan pendigitalan perkhidmatan kesihatan secara berperingkat. Ini termasuk penyediaan perkhidmatan telekonsultasi di 34 klinik kesihatan di Sabah dan 48 klinik kesihatan di Sarawak. KKM juga telah melaksanakan penggunaan Electronic Medical Records (EMR) melalui Cloud-Based Clinical Management System (CCMS) di fasiliti kesihatan di kawasan luar bandar iaitu 142 klinik kesihatan di Sarawak dan sembilan klinik kesihatan di Sabah. Keseluruhan sistem CCMS akan dilengkapi hujung tahun 2028 di seluruh Malaysia Ketiga, memperkukuh penglibatan komuniti melalui Panel Penasihat Klinik Kesihatan
(PPKK) dan Wakil Kesihatan Kampung (WKK).
Sehingga kini, sebanyak 650 PPKK dan 304 Sukarelawan Penjagaan Kesihatan Asas
(SPKA) yang khusus untuk kawalan penyakit malaria telah ditubuhkan di Sabah manakala 1,035 PPKK dan 561 WKK telah dilatih di Sarawak bagi menyokong promosi kesihatan dan penyampaian perkhidmatan di peringkat komuniti.
Saya sendiri juga sedang melaksanakan inisiatif Jelajah Kesihatan Borneo bermula awal tahun ini dengan objektif untuk menilai secara rapat kualiti penyampaian perkhidmatan kesihatan yang disediakan kepada rakyat Sabah dan Sarawak supaya berada dalam— pada tahap optimum. Antaranya ialah di Tuaran, Putatan, Penampang di Sabah dan bahagian Kuching, Kota Samarahan, Miri, Mukah bagi di Sarawak. KKM akan terus berusaha memastikan segala aspek perancangan sumber manusia, perolehan aset, pembangunan infrastruktur, kerja naik taraf kemudahan dan fasiliti kesihatan menjadi perkara utama dalam memastikan akses dan ekuiti perkhidmatan kesihatan dapat dinikmati oleh rakyat di pedalaman Sabah dan Sarawak.
Dalam perancangan melaksanakan— ada juga kita akan mencadangkan daripada segi cottage hospital dan perkhidmatan-perkhidmatan yang lain untuk memperkukuhkan keperluan rakyat lokal. Ini adalah juga daripada segi penglibatan di Jabatan Kesihatan Negeri di Sabah dan juga di Sarawak supaya lebih rapat dan terperinci dengan keperluan rakyat di pedalaman Sabah dan Sarawak. Sekian, terima kasih Datuk Yang di-Pertua dan Yang Berhormat Senator.
Timbalan Yang di-Pertua
Soalan tambahan, YB Anna Bell.
Datuk Anna Bell @ Suzieana binti Perian
Terima kasih Yang Berhormat Timbalan Menteri atas penjelasan yang begitu baik dan komprehensif. Soalan tambahan saya, apakah inisiatif atau intensif baharu yang diteliti oleh pihak kementerian kepada kakitangan pegawai kesihatan, doktor pakar, jururawat, untuk kekal berkhidmat di hospital mahupun di klinik kawasan pedalaman di Sabah? Sekian, terima kasih.
Dato Hajjah Hanifah Hajar Taib
Datuk Speaker, dari segi sumber manusia, kita telah menggalakkan supaya initiative package dia adalah lebih menarik dan dari segi sumber manusia, untuk menggalakkan mereka datang ke Sabah dan Sarawak, kita telah mendapatkan sejumlah 938 orang pakar perubatan keluarga yang sedang berkhidmat di 559 klinik kesihatan di seluruh negara. Berdasarkan data ini, perjawatan yang ada pada Sabah adalah sekurang-kurangnya bilangan keseluruhannya adalah lebih daripada kalau tak salah, 82 dari segi medical doctors. Dari segi bilangan KK adalah 1,114 dan bahagian daerah adalah dari segi 160. Saya harap saya betullah membacakan dari segi taburan ini, tetapi dari segi untuk memastikan bahawa mereka kekal, maka dari segi kita akan mempertimbangkan dari segi apakah selain daripada kekangan mereka dan apa yang pakej-pakej yang kita memberikan kepada untuk menggalakkan mereka datang juga perlu diperlihatkan juga dari segi kekal dalam perkhidmatan. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua
Baik, terima kasih.
Tuan Michael Mujah Lihan
[Bangun]
Tuan Robert Lau Hui Yew
Soalan tambahan.
Timbalan Yang di-Pertua
Ini soalan mengenai Sabah dengan Sarawak. Yang nak bangun ini semua orang Semenanjung. Tadi saya tengok YB Michael Mujah tadi bangun.
Tuan Michael Mujah Lihan
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, Datuk Yang di-Pertua.
Kita sedia maklum bahawa untuk merapatkan jurang kesihatan di pedalaman Sarawak, kita sangat bergantung kepada pengorbanan para doktor dan jururawat. Boleh Yang Berhormat Menteri perincikan usaha-usaha penambahbaikan yang sedang dan akan dilaksanakan oleh pihak kementerian bagi menyediakan insentif yang bersesuaian bagi menarik dan mengekalkan lebih ramai petugas kesihatan untuk terus berkhidmat di kawasan pedalaman Sarawak. Terima kasih.
Dato Hajjah Hanifah Hajar Taib
Datuk Yang di-Pertua, KKM telah menyediakan kemudahan dan inisiatif seperti berikut. Pegawai Perubatan Kontrak yang dilantik tetap memilih satu penempatan di Sabah, Sarawak dan Labuan menerusi penambahbaikan sistem ePlacement mulai tahun 2025.
Kuota penempatan bagi Pegawai Perubatan Lantikan Tetap sebanyak 650 di Sarawak dan 310 di Sarawak melalui sistem ePlacement ini dan mulai 22 Jun 2026, pegawai yang melapor diri di penempatan baru sebagai Pegawai Perubatan Gred UD10 Kontrak akan layak menerima tuntutan berpindah seperti elaun makanan, bayaran sewa hotel atau elaun lojing, tambang perjalanan, tambang pengangkutan barang, pemberian pindahan, belanja pelbagai, tertakluk kepada peraturan Perbendaharaan yang berkuat kuasa. Sekian, terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua
Okey, terima kasih.
Tuan Robert Lau Hui Yew
Soalan tambahan.
Timbalan Yang di-Pertua
Memandangkan masa dah pukul 11.10 ini, saya terus kepada soalan nombor 6 lah. Jadi saya jemput Tuan Haji Musoddak bin Ahmad.
Tuan Haji Musoddak bin Ahmad
Terima kasih Datuk Yang di-Pertua. Soalan saya nombor 6.
6. Tuan Haji Musoddak bin Ahmad minta Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air menyatakan, apakah garis masa pelaksanaan Dasar Tebus Guna Air Kebangsaan, termasuk infrastruktur diperlukan, penglibatan kerajaan negeri dan mekanisme kawal selia kualiti air tebus guna.
Timbalan Yang di-Pertua
YB. Menteri.
Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air - Dato’ Sri Haji Abdul Rahman bin Haji Mohamad
Terima kasih Datuk Yang di-Pertua, terima kasih Yang Berhormat Tuan Senator. Kerajaan komited untuk menggalakkan penggunaan Air Pulih Guna (APG) sebagai salah satu pendekatan bagi meningkatkan kecekapan penggunaan air khususnya bagi kegunaan industri yang tidak memerlukan air terawat berkualiti minuman. Pendekatan ini juga selaras dengan usaha kerajaan untuk memperkukuhkan jaminan bekalan air negara melalui pengurusan sumber air yang lebih mampan dan cekap.
Bagi tujuan tersebut, Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) akan melaksanakan Kajian Pembangunan Dasar Air Pulih Guna Industri dalam tempoh sekurang- kurangnya 12 bulan.
Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air - Dato’ Sri Haji Abdul Rahman bin Haji Mohamad
Hasil kajian ini akan menjadi asas kepada pembangunan Dasar Air Pulih Guna sebagai panduan kepada sektor industri selain industri makanan dan minuman seperti pusat data, industri semikonduktor dan pembersihan awam. Kajian ini akan meliputi analisis dari aspek teknikal, perundangan, kewangan dan ekonomi. Selain itu, kajian ini juga akan menilai keperluan infrastruktur yang diperlukan bagi menyokong pelaksanaan air pulih guna, mekanisme kawal selia, kualiti air pulih guna serta modal pelaksanaan yang bersesuaian.
Bagi memastikan dasar yang dibangunkan bersifat menyeluruh dan dapat dilaksanakan dengan berkesan, PETRA juga akan mengadakan sesi libat urus bersama pemegang taruh yang berkaitan termasuk pihak berkuasa sumber air negeri, operator air negeri, Indah Water Konsortium (IWK), agensi Kerajaan Pusat dan negeri serta pihak industri.
Hasil kajian ini akan menjadi asas kepada kerajaan dalam merangka hala tuju pembangunan air pulih guna negara termasuk dasar, kerangka pelaksanaan dan mekanisme kawalan selia yang bersesuaian. Terima kasih, Yang Berhormat Datuk Yang di-Pertua.
Timbalan Yang di-Pertua
Terima kasih, Dato’ Menteri. Sekarang ini— soalan tambahan YB Musoddak.
Tuan Haji Musoddak bin Ahmad
Terima kasih, Datuk Yang di-Pertua. Terima kasih, Timbalan Menteri. Isu tebus guna air ini merupakan suatu pendekatan alternatif bagi menangani tekanan dan permintaan air daripada industri yang semakin meningkat selain impak perubahan iklim terhadap rizab air mentah negara.
Saya ingin mengetahui, apakah kementerian juga merancang untuk meletakkan suatu piawaian terhadap tarif air tebus guna di peringkat negeri supaya menjadi tarikan pelabur industri tanpa memberikan kesan langsung terhadap kos operasi operator air di setiap negeri? Mohon penjelasan kementerian.
Dato’ Sri Haji Abdul Rahman bin Haji Mohamad
Terima kasih, Yang Berhormat Yang di-Pertua. Terima kasih, Yang Berhormat Senator Tuan Haji Musoddak bin Ahmad. Sebenarnya kami memang menetapkan dalam perkara itu dan sebab itu sebelum kita melaksanakan, kita mengadakan libat urus bersama dengan kerajaan negeri dan setakat hari ini, kita telah bersama dengan Kerajaan Johor dan juga Kerajaan Selangor. Di Kedah, masih belum lagi dan dalam proses di Negeri Sembilan dan juga di Kuala Lumpur.
Dan dalam soal ini, sebenarnya kita tidak lain tidak bukan bertujuan untuk membangunkan satu Dasar Air Pulih Guna dan juga pelan tindakan pelaksanaan dan kajian ini untuk pastikan penghasilan APG, kerangka perundangan, piawaian kualiti, mekanisme, model perniagaan serta libat urus dengan pemegang taruh. Dan sebagai contoh, kalau di negeri Selangor, kita telah berbincang dan kita telah laksanakan dan penjimatannya agak besar dan lebih menguntungkan, tetapi kita tidak boleh menggunakan untuk F&B, untuk makan dan minum.
Dan yang paling besar menggunakan sekarang ini adalah data centre, yang penggunaan air yang begitu besar sekali. Dan insya-Allah kalau Kedah boleh berbincang dengan kita, kita akan berbincang bersama. Terima kasih, Yang Berhormat Datuk Yang di-Pertua.
Timbalan Yang di-Pertua
Terima kasih. Kalau tak ada soalan tambahan, saya terus kepada menjemput Senator Tuan Larry anak Asap.
Tuan Larry anak Asap
Terima kasih, Tuan Yang di-Pertua. Soalan saya soalan nombor 7.
7. Tuan Larry anak Asap minta Menteri Sumber Manusia menyatakan, adakah kementerian berhasrat untuk menubuhkan Pusat Rehabilitasi Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) di Sarawak.
Timbalan Yang di-Pertua
YB Menteri.
Timbalan Menteri Sumber Manusia - Datuk Khairul Firdaus bin Akbar Khan
Tuan Yang di-Pertua, pada masa ini Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) telah mengadakan kerjasama strategik dengan Universiti Sarawak (UNIMAS) bagi menyedia dan memanjangkan program rehabilitasi serta kemudahan berkaitan rehabilitasi di Sarawak menerusi penyediaan kemudahan tersebut di Hospital Pengajar UNIMAS.
Selain itu, PERKESO juga mempunyai 14 buah panel pusat rehabilitasi PERKESO di seluruh negeri Sarawak seperti di DBC Asia Healthcare Sdn. Bhd. di Kuching, TAGS Chiropractic & Rehabilitation di Kuching, Rejang Healthcare Centre Sdn. Bhd. di Sibu, Health and Life Physiotherapy Centre di Sibu, Kemena Pacific Hospital di Bintulu dan Selesa Pacific Hospital di Miri.
Inisiatif ini mampu memberi manfaat kepada masyarakat setempat terutamanya kepada 756,403 pencarum PERKESO di negeri Sarawak yang mencarum di bawah LINDUNG PEKERJA, LINDUNG KENDIRI dan LINDUNG KASIH bagi mendapatkan faedah rawatan rehabilitasi. Sekian, terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua
Soalan tambahan.
Tuan Larry anak Asap
Soalan tambahan saya adalah, adakah 14 pusat panel di Sarawak ini yang telah dinyatakan oleh Timbalan Menteri setaraf kualitinya dengan Pusat Rehabilitasi PERKESO yang berada di Semenanjung di sini? Dan apakah indikator yang digunakan oleh kementerian agar pembinaan pusat rehabilitasi ini dapat direalisasikan di Sarawak pada masa hadapan? Terima kasih.
Datuk Khairul Firdaus bin Akbar Khan
Terima kasih, Yang Berhormat Senator. Untuk kita membina satu pusat rehabilitasi, ada beberapa asas yang perlu dipertimbangkan dan juga diperhalusi. Faktor termasuk impak sosial ekonomi itu sendiri, kemampanan dana organisasi, faktor geografi, keperluan semasa dan keutamaan kepentingan atau urgency, dengan izin.
Ini kerana penubuhan sebuah pusat rehabilitasi perubatan dan vokasional yang lengkap dengan kemudahan teknologi rehabilitasi memerlukan peruntukan kos pembangunan yang amat besar. Tambahan lagi, perkhidmatan sokongan lain daripada hospital yang berdekatan dan hospital pakar juga perlu dilihat dan diambil kira.
Balik kepada persoalan, adakah 14 buah Panel Pusat Rehabilitasi PERKESO di negeri Sarawak mempunyai perkhidmatan yang sama dengan pusat rehabilitasi ataupun hospital yang kita telah bangunkan? Ini adalah satu sokongan ataupun melengkapkan ekosistem daripada hospital itu sendiri dan saya pun percaya ini bukanlah Pusat Rehabilitasi PERKESO yang boleh kita bandingkan dengan 14 yang saya sebutkan tadi.
Namun, ia sedikit sebanyak membantu kita untuk memastikan orang berinsurans itu mendapat perkhidmatan dan juga nasihat yang sewajarnya. Sekian, terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua
Alright. Kalau tak ada soalan tambahan, saya terus pada Senator Datuk Haji Mustafa bin Musa.
Datuk Dr. Haji Mustafa bin Musa
Assalamualaikum dan terima kasih, Datuk Yang di- Pertua. Soalan saya nombor 8.
8. Datuk Dr. Haji Mustafa bin Musa minta Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menyatakan, bagaimana RISDA dapat membantu pekebun kecil getah mengimbangi perubahan harga semasa getah asli dan kos tuaian hasil agar prospek bekalan komoditi ini tidak terjejas dalam kecelaruan konflik Timur Tengah dan tenaga petroleum.
Timbalan Yang di-Pertua
YB Menteri.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah - Datuk Hajah Rubiah binti Wang
Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih, Datuk Yang di-Pertua. Terima kasih YB Senator Datuk Mustafa atas soalan.
Datuk Yang di-Pertua, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah melalui RISDA sentiasa memantau perkembangan harga getah dunia serta faktor-faktor luaran termasuk ketidaktentuan geopolitik di Timur Tengah dan turun naik harga petroleum yang boleh mempengaruhi permintaan dan harga getah asli di pasaran global.
Bagi membantu pekebun kecil getah menghadapi ketidaktentuan harga serta meningkatkan daya tahan pendapatan mereka, RISDA melaksanakan pelbagai inisiatif yang memberi tumpuan kepada peningkatan produktiviti kebun, pengurangan kos pengeluaran dan pemerkasaan sistem pemasaran hasil getah.
Antara inisiatif utama yang dilaksanakan ialah program pengeluaran hasil getah matang yang menyediakan bantuan input pertanian seperti baja, peralatan menoreh, bahan rangsangan lateks serta kerja-kerja penyelenggaraan kebun. Bantuan ini bukan sahaja membantu mengurangkan kos pengeluaran yang ditanggung oleh pekebun kecil malah meningkatkan produktiviti dan kualiti hasil getah.
Di samping itu juga, RISDA telah melaksanakan Program Fasiliti Pemasaran Getah
(FASGET) melalui penyediaan depoh pengumpulan skrap dan lateks bagi mengumpul hasil pekebun kecil sebelum dipasarkan secara pukal.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah - Datuk Hajah Rubiah binti Wang
Pendekatan ini dapat mengurangkan kos pengangkutan, meningkatkan kecekapan logistik dan memperkukuhkan kedudukan tawar menawar pekebun kecil dalam pasaran. Bagi melengkapkan usaha tersebut, RISDA juga turut memperkenalkan Program Pemasaran Getah Bergerak yang menyediakan perkhidmatan pembelian getah secara bergerak khususnya di kawasan pedalaman. Inisiatif ini memudahkan urusan penjualan hasil, menjimatkan kos dan masa perjalanan pekebun kecil. Meluaskan akses kepada saluran pemasaran rasmi dan memastikan hasil getah dapat dipasarkan dengan lebih cekap pada harga yang kompetitif.
Selain daripada itu, RISDA juga melaksanakan program RISDA sebagai pembeli getah utama, anchor buyer melalui RISDA Plantation Sendirian Berhad. Bagi menyediakan saluran pemasaran yang lebih tersusun, telus dan menawarkan harga belian yang kompetitif mengikut harga pasaran semasa. Sebagai anchor buyer, RPSB mengamalkan konsep kadar diskaun belian yang minimum bagi membolehkan pekebun kecil menikmati harga belian yang lebih baik.
Pendekatan ini bukan sahaja mengurangkan kebergantungan kepada orang tengah, malah mewujudkan persaingan harga yang sihat serta meningkatkan pulangan hasil jualan pekebun kecil.
Secara keseluruhannya, walaupun harga getah dipengaruhi oleh faktor-faktor pasaran global yang berada di luar kawalan kerajaan. KKDW melalui RISDA akan terus memperkukuhkan usaha meningkatkan produktiviti kebun, mengurangkan kos pengeluaran dan mempertingkatkan kecekapan pemasaran serta menggalakkan kepelbagaian sumber pendapatan pekebun kecil.
Pendekatan ini menyeluruh, diharap dapat meningkatkan daya saing industri getah negara, menjamin kelestarian bekalan getah asli serta memperkukuhkan daya tahan ekonomi dan kesejahteraan pekebun kecil dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi global. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua
Terima kasih Menteri. Soalan tambahan.
Datuk Dr. Haji Mustafa bin Musa
Terima kasih Datuk Yang di-Pertua. Tahniah kepada KKDW, khususnya RISDA yang telah mengatur pelbagai program untuk mengurangkan cengkaman kenaikan kos sara hidup khususnya pada pekebun-pekebun kecil getah. Namun begitu, adakah RISDA khususnya, dalam perancangan untuk memainkan peranan dengan lebih efektif dalam bimbingan latihan keusahawanan kepada pekebun-pekebun kecil getah dan anak- anak mereka, juga aktiviti padanan pasaran produk usahawan RISDA kepada pasaran bersasar dan berskala utama seperti hypermarket ataupun produk boleh beli SARA?
Dengan cara ini kita dapat membantu meringankan bebanan dan cengkaman kos sara hidup kepada pekebun kecil dan anak-anak mereka. Terima kasih Datuk Yang di-Pertua.
Timbalan Yang di-Pertua
YB Menteri.
Datuk Hajah Rubiah binti Wang
Tuan Yang di-Pertua, dalam menghadapi ketidaktentuan harga getah asli yang dipengaruhi oleh sentimen pasaran global dan harga petroleum dunia, RISDA melaksanakan Program Keusahawanan bagi membantu pekebun kecil serta anak-anak mereka mempelbagaikan sumber pendapatan dan mengurangkan kebergantungan kepada hasil getah semata-mata. Pembangunan usahawan dilaksanakan secara berperingkat melalui tiga teras utama:
(i) Entry Point Project (EPP); (ii) Expansion Program (EP); dan
(iii) Commercial Global Program (CGP) Bimbingan dan latihan yang diberikan merangkumi pengurusan perniagaan, kewangan, pengeluaran, pemasaran, penjenamaan, pembungkusan, pelabelan, pemasaran digital, pensijilan dan pematuhan keperluan pasaran. Pada tahun 2026, seramai 1,064 orang telah menerima manfaat Program Keusahawanan. Manakala, 890 telah mengikuti program-program latihan yang berkaitan.
Dari aspek padanan pasaran, RISDA menyediakan saluran pemasaran melalui rangkaian RisSmart, ekspo karnival, program padanan perniagaan, pemasaran digital serta kerjasama dengan pasar raya, pemborong dan juga pengedar. Sehingga April 2026, sebanyak 653 SKU daripada 101 usahawan telah dipasarkan melalui rangkaian RisSmart dengan nilai jualan keseluruhannya kira-kira 9.2 juta bagi tempoh 2024 hingga 2026.
Secara keseluruhannya, keberkesanan Program Keusahawanan RISDA akan terus diukur berdasarkan peningkatan pendapatan bersih, pertumbuhan jualan, bekalan produk yang berjaya disenaraikan di pasar raya, kontrak pembekalan dan kadar kelangsungan perniagaan.
Pendekatan bersepadu ini diharap dapat meningkatkan daya tahan ekonomi pekebun kecil dan anak-anak mereka dalam menghadapi isu kenaikan kos sara hidup. Terima kasih Datuk Yang di- Pertua.
Datuk Edward Linggu Bukut
[Bangun]
Timbalan Yang di-Pertua
Terima kasih YB Menteri. Memandangkan saya nak tamatkan sesi ini pada soalan nombor 12 ya. Jadi, saya tak benarkan soalan tambahan lebih daripada satu sahaja, lepas ini.
Sekarang saya jemput Dato’ Haji Abdul Halim bin Haji Suleiman. Menteri pun kalau jawab jangan panjang-panjang ya.
[Ketawa]
Dato’ Haji Abdul Halim bin Haji Suleiman
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Soalan saya nombor 9.
9. Dato’ Haji Abdul Halim bin Haji Suleiman minta Menteri Dalam Negeri menyatakan:
(a) apakah keberkesanan operasi membanteras sindiket penipuan dalam talian, jumlah tangkapan yang telah dibuat dan nilai kerugian yang berjaya dielakkan; dan
(b) apakah bentuk kerjasama yang dijalinkan dengan institusi kewangan bagi mengekang jenayah tersebut.
Timbalan Yang di-Pertua
Baik. Silakan YB Menteri.
Timbalan Menteri Dalam Negeri - Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar bin Haji Nasarah
Terima kasih Yang Berhormat. Nombor 4-9-9-6-5, 2-8-2-5-5. Besar itu Yang Berhormat. Tahniah.
[Ketawa] KDN melalui PDRM kita perkukuhkan usaha membanteras sindiket penipuan dalam talian melalui pelaksanaan operasi bersepadu, Yang Berhormat. Tindakan penguatkuasaan secara berterusan, aktiviti risikan, kerjasama strategik bersama agensi penguat kuasa dalam dan luar negara serta perkongsian maklumat dengan institusi kewangan, syarikat telekomunikasi dan agensi berkaitan.
Dari tahun 2024 hingga Jun 2026, PDRM telah merekodkan sebanyak 44,603 operasi yang melibatkan jenayah dalam talian dan telah menangkap seramai 45,722 orang. Tahun 2024, mencatatkan jumlah tangkapan seramai 14,547 orang. 20,292 orang bagi tahun 2025 dan 10,883 bagi tahun 2026 sehingga Jun. Pada tahun 2024 Yang Berhormat, NSRC telah berjaya menyita sebanyak 7.5 juta dan RM508,478 atau tujuh peratus. Ini telah berjaya dipulangkan kepada mangsa.
Bagi tahun 2025 pula, sebanyak 17.4 juta telah berjaya disita dan 6.6 juta atau 38 peratus telah berjaya dipulangkan kepada mangsa. Sehingga Jun 2026, NSRC telah berjaya menyita sebanyak 7.2 juta dan 4.1 juta atau 57 peratus telah berjaya dipulangkan kepada mangsa. Jadi, peningkatan peratus pemulangan dana ini membuktikan bahawa fungsi NSRC sebagai Pusat Respons Scam Nasional semakin aktif dan semakin dipercayai oleh rakyat.
Yang Berhormat, bagi kita perkukuhkan kerjasama strategik dalam membanteras jenayah penipuan dalam talian, PDRM melalui National Scam Response Center ini menjalinkan kerjasama erat dengan Bank Negara Malaysia, institusi kewangan, Suruhanjaya Komunikasi Multimedia (SKMM) serta agensi berkaitan bagi membolehkan tindakan diambil sebaik sahaja laporan diterima. Melalui mekanisme ini Yang Berhormat, institusi kewangan dapat melaksanakan tindakan seperti penandaan atau pembekuan sementara terhadap transaksi atau akaun yang disyaki. Sekali gus, menghalang dana daripada dipindah atau dikeluarkan oleh sindiket sebelum tindakan lanjut diambil oleh pihak berkuasa.
Yang Berhormat, di samping itu dalam memperkukuhkan kerjasama antara Jabatan Siasatan Jenayah Komersial bersama institusi kewangan, satu platform digital iaitu Portal eFinancial, Service Act telah dibangunkan bagi membolehkan pemohon, maklumat perbankan, pemantauan status permohonan secara masa nyata, cepat dan teratur. Pelaksanaan eFSA telah memendekkan tempoh respons institusi kewangan serta meningkatkan keberkesanan tindakan penguatkuasaan jenayah komersial. Ini khususnya dalam penipuan dalam talian. Terima kasih Yang Berhormat.
Timbalan Yang di-Pertua
Soalan tambahan Dato’ Halim.
Dato’ Haji Abdul Halim bin Haji Suleiman
Yang Berhormat Datuk Speaker, tadi ada dimaklumkan bahawa tangkapan sebanyak lebih kurang 44,000, sita 7.5 juta. Undi saya 28,255 itu yang Timbalan Menteri cakap. Cuma, saya nak tanya, berapa peratus daripada tangkapan yang dibuat berjaya dibawa ke peringkat pendakwaan, yang akhirnya disabitkan kesalahan dan faktor utama yang menyebabkan sebahagian kes sukar disabitkan.
Dato’ Haji Abdul Halim bin Haji Suleiman
Kerana kebanyakan scam ini bila berlaku di peringkat bank, bank lambat nak memulangkan atau tidak memulangkan kepada penyimpan-penyimpan. Saya nak tahu, apakah kerajaan bercadang untuk mewajibkan semua institusi kewangan melaksanakan sistem pengesanan transaksi mencuriga secara masa atau nyata (real-time fraud detection) dan pembekuan segera diambil apabila laporan scam diterima? Terima kasih Yang Berhormat Yang di-Pertua.
Timbalan Yang di-Pertua
Menteri.
Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar bin Haji Nasarah
Yang Berhormat, angka yang— peratusan yang dimohon itu saya tak ada dalam rekod saya. Saya akan bagi secara bertulis.
Yang Berhormat ini selalu macam itu. Yang saya tak ada data, dia tanya saya. Nanti saya bagi secara bertulis, Yang Berhormat.
Timbalan Yang di-Pertua
Dia tahu Menteri memang tak bawa angka pun.
[Ketawa]
Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar bin Haji Nasarah
Cara saya jawab Yang Berhormat, macam Yang Berhormat Speaker jadi Timbalan Menteri dulu. Sama je.
Timbalan Yang di-Pertua
[Ketawa]
Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar bin Haji Nasarah
Yang Berhormat, apa pun itu antara sebahagian cabaran yang kita hadapi. Namun, kita sentiasa meningkatkan keupayaan kita, menyedari bahawa cabaran dalam jenayah online ini semakin mencabar, terutama sekali peningkatan penggunaan teknologi dan sebagainya.
Namun demikian, saya dah sebut tadi, sejak kita meletakkan NSRC di bawah KDN, pencapaian-pencapaian kita perolehi sebagaimana yang saya nyatakan tadi. Namun demikian Yang Berhormat, saya nak kongsi sedikit di sini. Kita memang sentiasa melalui PDRM, mengutamakan tindakan sesegera mungkin bagi menangani dan mengendalikan laporan penipuan kewangan dalam talian ini, khususnya dalam tempoh awal selepas kejadian dilaporkan.
Pendekatan yang kita buat ini sebenarnya selaras dengan apa yang kita panggil sebagai golden hour iaitu tempoh paling kritikal untuk mengesan, menyekat dan membekukan aliran dana sebelum wang dipindah, dikeluarkan oleh sindiket. Sehubungan itu, konsep golden hour NSRC ini Yang Berhormat, ini merujukkan tempoh kritikal dalam tempoh 24 jam pertama itu, selepas mangsa sedar berlakunya penipuan kewangan dalam talian.
Dalam tempoh ini, tindakan pantas melalui talian 997 yang disediakan oleh NSRC, menyelaras kerjasama PDRM, Bank Negara Malaysia dan institusi kewangan dan agensi berkaitan untuk mengesan, menyekat serta membekukan aliran dana, sekali gus meningkatkan peluang pemulangan wang kepada mangsa. Sebab itu kita seru kepada orang ramai supaya segera menghubungi talian 997 Yang Berhormat, sekiranya menjadi mangsa penipuan kewangan dalam talian bagi membolehkan tindakan segera ini diambil dalam tempoh golden hour tadi.
Pada masa sama, kita haraplah rakyat bekerjasama membuat semakan selalu sebarang transaksi kewangan dan tentu tidak mudah terpengaruh dengan tawaran-tawaran yang di luar daripada kebiasaan. Apa pun pandangan Yang Berhormat, kita ambil kira dan sentiasa kita lakukan perubahan kerana kita sedar perubahan berlaku dalam sindiket jenayah ini. Terima kasih Yang Berhormat.
Timbalan Yang di-Pertua
Terima kasih. Sekarang saya jemput Tuan Sheikh 'Umar Bagharib bin Ali.
Tuan Sheikh 'Umar Bagharib bin Ali
Datuk Yang di-Pertua, ini adalah pengalaman pertama saya di Dewan Negara.
Timbalan Yang di-Pertua
Tahniah.
Tuan Sheikh 'Umar Bagharib bin Ali
Dan ini adalah soalan kali pertama saya di Dewan yang mulia ini. Jadi, beri saya peluang untuk mulakan dengan pantun, walaupun masa tak berapa nak ada.
Burung merpati terbang ke muara; Hinggap sebentar di dahan teguh; Membuka langkah kali pertama; Soalan saya nombor sepuluh. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua
Huh, pandai orang Johor ini berpantun. Timbalan Menteri.
10. Tuan Sheikh `Umar Bagharib bin Ali minta Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan menyatakan, langkah tambahan bagi mempercepat penyelenggaraan rumah kos rendah, Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan bangunan strata yang uzur.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan - Datuk Hajah Aiman Athirah binti Sabu
*Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh.
[Membaca selawat]* Tuan Yang di-Pertua, untuk makluman Ahli Yang Berhormat Senator, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan sentiasa komited dan prihatin untuk kita memastikan agenda kesejahteraan rakyat di perumahan awam terus diperkasa. Sehubungan dengan itu, kementerian ini melalui Jabatan Perumahan Negara, melaksanakan inisiatif Kerajaan Persekutuan bagi membantu penghuni-penghuni Program Perumahan Rakyat (PPR) strata bertingkat di seluruh negara untuk menyelenggara dan membaik pulih kediaman mereka di bawah Program Penyelenggaraan Perumahan Malaysia.
Keutamaan untuk PPP ini Tuan Yang di-Pertua, adalah meliputi 10 skop. Pertamanya, lif.
Seterusnya, tangki air dan paip retikulasi, paip sanitari, bumbung, tangga dan susur tangan, mengecat, pendawaian elektrik, skop kerosakan awam yang melibatkan harta bersama, skop pagar dan juga skop cerun.
Bagi tempoh Rancangan Malaysia Kedua Belas, KPKT telah pun membelanjakan sebanyak RM159.1 juta bagi Rolling Plan Pertama hingga Rolling Plan Kelima dan penyelenggaraan ini meliputi semua PPR strata bertingkat di seluruh negara. Sebagai makluman, KPKT pada tahun 2026 telah menerima sebanyak 226 permohonan yang merangkumi 10 skop keutamaan seperti yang telah pun saya maklumkan tadi iaitu berjumlah RM79.9 juta.
Walau bagaimanapun, siling peruntukan yang diterima untuk tahun 2026 hanya merangkumi 56 peratus daripada keseluruhan kos permohonan tersebut iaitu sebanyak RM44.6 juta. Justeru itu, dengan peruntukan yang terhad, kementerian ini telah pun melaksanakan pertimbangan yang lebih terperinci dan bersasar dengan memberikan tumpuan kepada kerosakan yang lebih kritikal terhadap keselamatan dan juga keselesaan penghuni.
Tumpuan tersebut lebih memfokus kepada kerosakan yang boleh menjejaskan aktiviti harian penduduk sepertimana lif, bumbung, tangki air dan sistem retikulasi, paip sanitari, pendawaian elektrik dan juga kerosakan am yang melibatkan harta bersama. Dan selain itu juga, kementerian turut memberi keutamaan bagi menyelenggara PPR yang telah pun berusia lebih daripada 10 tahun dan ke atas.
Tuan Yang di-Pertua, kementerian terus komited untuk membantu penghuni PPR dan senantiasa berusaha untuk menyegerakan penyelenggaraan dan pembaikan kediaman, walaupun persekitaran terhad, agar penghuninya mendapat manfaat melalui persekitaran perumahan yang selamat, kondusif dan juga selamat didiami. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Timbalan Yang di-Pertua
Alright, soalan tambahan.
Tuan Sheikh 'Umar Bagharib bin Ali
Datuk Yang di-Pertua, persoalan yang timbul seterusnya ialah berkaitan dengan langkah mempercepat proses penambahbaikan dan penyelenggaraan. Kerana— kalau boleh saya bawakan contoh kes daripada pemimpin ataupun penduduk di akar umbi. Contohnya, di Johor Bahru yang berlaku. Misalnya di Flat Taman Ungku Tun Aminah, mengenai kelewatan kerja-kerja penyelenggaraan dan penambahbaikan.
Difahamkan isu ini telah dibangkitkan kepada kementerian sejak tahun 2023. Ini misalnya ya, di Flat TUTA ini. Dibangkitkan pada tahun 2023, kemudian beberapa kali follow-up, dengan izin, telah pun dibuat dan mendapat respons yang begitu perlahan.
Jadi, bolehkah Yang Berhormat Timbalan Menteri untuk berikan sedikit penjelasan.
Apakah faktor yang menyebabkan kelewatan ini? Dan juga di samping itu, adakah di sana sebarang— kita panggil SOP, dengan izin, garis masa tindakan yang akan diambil sebagai jaminan untuk memastikan perkara kelewatan ini tidak berulang lagi, sama ada di Johor atau di mana-mana negeri yang lain? Terima kasih.
Datuk Hajah Aiman Athirah binti Sabu
Terima kasih Yang Berhormat. Tuan Yang di- Pertua, saya jawab garis masa, Tuan Yang di-Pertua. Tadi disebutkan tentang kelewatan. Ahli Yang Berhormat dan Dewan yang mulia, permohonan daripada pihak mana yang diberikan kepada kita di kementerian ini adalah daripada badan pengurusan bersama (JMB) ataupun MC mana-mana perumahan itu diserahkan kepada COB ataupun PBT.
Kemudian, PBT akan mengangkatnya ke peringkat kementerian. Itu akan berlangsung, dibuka dalam bulan Ogos hingga Oktober. Seterusnya, dalam bulan November, satu mesyuarat jawatankuasa kerja pemilihan projek untuk tabung penyelenggaraan perumahan Malaysia.
Dalam konteks ini, sebab TUTA adalah perumahan swasta, PPP adalah kalau untuk perumahan awam. November akan ada satu mesyuarat jawatankuasa kerja pemilihan projek dan kemudian sesi libat urus bersama dengan agensi pelaksana bagi pemilihan projek TPPM. Sebab bukan semua projek TPPM ini, Tuan Yang di-Pertua. Permohonan itu banyak, macam tadi saya sebutkan.
Tetapi siling peruntukan kita sedikit. Dalam banyak keadaan, kita hanya dapat penuhi 50 peratus. Kerana apa, Tuan Yang di-Pertua? Penyelenggaraan perumahan, tanggungjawab utamanya pada siapa? Pemilik rumah. Pemilik rumah. Kemudian, kepada JMB. Apa yang dibantu oleh kerajaan ini adalah bantuan, Tuan Yang di-Pertua. Kita tidak boleh lari. Pemimpin-pemimpin komuniti tidak boleh lari untuk memberikan kefahaman kepada pemilik rumah, seolah-olah penyelenggaraan itu adalah tanggungjawab kerajaan. Ia adalah tanggungjawab pemilik rumah sebab di situ ada maintenance fee dan juga sinking fund. Selepas daripada itu Tuan Yang di-Pertua, sesi libat urus bersama dengan agensi pelaksana akan dibuat iaitu PBT lah, November. Kemudian, satu lagi mesyuarat jawatankuasa induk pemilihan projek akan diadakan pada bulan Disember tahun semasa dia memohon.
Dan pada bulan Januari, pertimbangan kelulusan oleh pegawai pengawal. Pegawai pengawal ini, Ketua Setiausaha Kementerian. Dan seterusnya dalam bulan Januari, bulan yang sama, pemakluman akan diberikan kepada PBT, mana satu permohonan yang diterima. SST akan dikeluarkan paling lewat bulan April dan selepas itu, boleh take-off.
Datuk Hajah Aiman Athirah binti Sabu
Adapun yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat tadi, katanya TUTA tak menerima apa- apa respons untuk peruntukan penyelenggaraan. Saya nak sebutkan di sini, 2024 diluluskan RM2.1 juta untuk penyelenggaraan. Detil kita ada. 2025 diluluskan RM1.04 juta. Manakala 2026, tahun ini, RM3.5 juta. Keseluruhan daripada 2024, 2025, 2026, RM6.7 juta.
Tuan Yang di-Pertua, saya juga ingin mengingatkan rakan-rakan pemimpin kita, supaya kalau ada masalah di peringkat bawah, Tuan Yang di-Pertua, kita tidak boleh jump terus kepada Menteri ataupun Timbalan Menteri. Dia mesti melalui proses. Pergi kepada PBT. PBT akan angkat. Sebab, yang paling bertanggungjawab itu adalah COB.
Jadi, pada keseluruhannya, Tuan Yang di-Pertua, saya melihat TUTA ini memang usianya lama― 42 tahun. Dia adalah salah satu prospek sebenarnya― dia 88 blok, Tuan Yang di-Pertua.
Ada 4,000 lebih unit, 12,088, tak silap saya, penduduk. Memang ramai dan keadaannya agak uzur. Ini adalah antara prospek untuk kita— pembaharuan semula bandar.
Jadi, kalau kita nak pergi ke arah itu, saya masih melihat pembaharuan semula bandar itu adalah salah satu cara yang paling berkesan. Dan keseluruhan peruntukan yang telah pun diberikan oleh kementerian ini kepada TUTA, keseluruhannya sehingga terkini, dalam RM26 juta, Tuan Yang di-Pertua. Jadi, itu adalah satu angka yang besar, bantuan yang besar walaupun pada hakikatnya penyelenggaraan itu adalah tanggungjawab pemilik dan JMB.
Terima kasih, Tuan Yang di-Pertua.
Timbalan Yang di-Pertua
Terima kasih, YB. Menteri. Sebenarnya perumahan TUTA ini bersebelahan dengan kawasan Parlimen Pulai. Jadi, saya selalu lalu di situ. Memang uzur, tapi kerajaan dah buat sesuatu. Itu saya sendiri nampak.
Sekarang ini saya jemput Senator Tuan Pele Peter Tinggom.
Tuan Pele Peter Tinggom
Datuk Yang di-Pertua, soalan saya nombor 11.
11. Tuan Pele Peter Tinggom minta Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menyatakan, bilakah Akta Kanak-kanak 2001 akan dipinda bagi memastikan perlindungan hak kanak-kanak selaras dengan keperluan semasa serta Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak (CRC) dan amalan terbaik antarabangsa.
Timbalan Yang di-Pertua
YB Menteri.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat - Dato’ Sri Hajah Nancy binti Shukri
Terima kasih, Tuan Yang di-Pertua. Terima kasih, Yang Berhormat yang bertanya.
Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh. Tuan Yang di-Pertua, Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak atau, dengan izin, Convention on the Rights of the Child (CRC) merupakan instrumen antarabangsa utama yang menetapkan hak kanak-kanak serta tanggungjawab negara untuk memastikan hak tersebut dihormati, dilindungi dan dipenuhi. Malaysia telah meratifikasikan CRC pada tahun 1995. Saya amat berterima kasih soalan ini dikeluarkan di sini, bagi membolehkan ramai rakyat kita mengetahui mengenai kaitan kita dengan antarabangsa.
Jadi, sebagai negara pihak, Malaysia secara dasarnya mempunyai dua obligasi terhadap CRC iaitu― pertama, untuk mengambil langkah perundangan, pentadbiran dan dasar yang sewajarnya bagi melaksanakan hak kanak-kanak tanpa diskriminasi, dengan mengutamakan kepentingan terbaik kanak-kanak ataupun in the best interest of the child, dengan izin, hak untuk hidup, kelangsungan hidup dan perkembangan serta hak untuk didengar.
Kedua, Malaysia juga perlu mengemukakan laporan berkala kepada Jawatankuasa Hak Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) iaitu United Nations Committee on the Rights of the Child (UNCRC), dengan izin ya, mengenai kemajuan pelaksanaan CRC.
Pemerhatian penutup atau dengan izin, concluding observations jawatankuasa tersebut akan memberikan panduan dan cadangan penambahbaikan kepada Malaysia dalam memperkukuhkan perlindungan dan pemenuhan hak kanak-kanak.
Berkenaan laporan berkala, saya telah mengetuai delegasi Malaysia ke sesi dialog konstruktif laporan berkala kedua hingga keempat Malaysia mengenai pelaksanaan CRC bersama Jawatankuasa Hak Kanak-kanak PBB di Geneva pada 22 dan 23 Januari 2026 yang lalu. Antara wakil kementerian dan agensi kerajaan yang turut hadir bersama saya ialah agensi kerajaan daripada Jabatan Peguam Negara, Kementerian Pendidikan, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara.
Semasa sesi tersebut, jawatankuasa berkenaan telah mengajukan soalan-soalan tambahan berdasarkan laporan negara yang telah dibentangkan, yang perlu diberi maklum balas secara langsung iaitu mirip seperti sesi kita di Parlimen pada hari ini. Ini kali pertama delegasi Malaysia turut dianggotai oleh anggota Jemaah Menteri yang secara langsung mencerminkan kesungguhan serta iltizam peringkat tertinggi kerajaan dalam mengangkat dan melindungi hak kanak-kanak.
Sesi dialog konstruktif ini telah dijadikan platform untuk Malaysia menjelaskan kemajuan, cabaran dan langkah penambahbaikan dalam melindungi serta memenuhi hak kanak-kanak di negara ini. Antara perkara utama yang disentuh dalam pelaporan dan dialog tersebut, termasuk penyelarasan undang-undang dan dasar berkaitan kanak-kanak, perlindungan daripada penderaan, pengabaian, eksploitasi dan keganasan kesihatan, pendidikan serta sistem keadilan bagi kanak-kanak.
Jawatankuasa CRC menyambut baik laporan Malaysia dan menghargai dialog konstruktif bersama delegasi negara yang bersifat peringkat tinggi dan merentas sektor. Susulan dialog berkenaan, jawatankuasa telah mengemukakan 159 syor melalui concluding observations yang antara lain turut menggariskan beberapa bidang yang dicadangkan tindakan dan penambahbaikan lanjut untuk mengangkat tahap pematuhan Malaysia ke peringkat yang lebih tinggi.
Dalam hal ini, syor-syor jawatankuasa yang berkaitan dengan kerangka perundangan dan pelaksanaan Akta Kanak-kanak 2001 [Akta 611] akan diteliti dan diambil kira dalam proses semakan akta tersebut yang kini sedang giat dilaksanakan oleh KPWKM. Ini termasuk penambahbaikan yang dapat memperkukuh perlindungan, pemeliharaan, pemulihan, penyertaan dan kesejahteraan kanak-kanak berasaskan prinsip kepentingan terbaik kanak-kanak. Sekian, terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua
Soalan tambahan. YB. Pele.
Tuan Pele Peter Tinggom
Okey, terima kasih Yang Berhormat Menteri atas jawapan yang diberikan, kerana ini adalah satu hala tuju yang sangat baik untuk negara melindungi hak dan kebajikan kanak-kanak di negara kita.
Soalan tambahan saya adalah― apakah bidang penambahbaikan yang disaran oleh Jawatankuasa Hak Kanak-kanak PBB menerusi concluding observations yang dinyatakan sebentar tadi? Adakah cadangan berkaitan akan dipertimbangkan dalam pindaan Akta Kanak- kanak 2001 yang akan dibawa kelak? Terima kasih.
Dato’ Sri Hajah Nancy binti Shukri
Terima kasih Yang Berhormat. Tuan Yang di-Pertua, Jawatankuasa Hak Kanak-kanak PBB telah menggariskan beberapa bidang yang memerlukan perhatian lanjut, termasuk pengukuhan kerangka perundangan dan pelaksanaan hak kanak- kanak, perlindungan daripada penderaan, pengabaian, eksploitasi dan keganasan serta penerapan prinsip kepentingan terbaik kanak-kanak dan hak kanak-kanak untuk didengar dalam keputusan yang melibatkan mereka.
Dalam konteks Akta Kanak-kanak 2001, KPWKM akan meneliti syor yang berkaitan dengan mekanisme perlindungan dan pelaporan kes, tatacara mahkamah bagi kanak-kanak jagaan berasaskan keluarga dan juga komuniti, pemulihan dan jagaan susul serta peranan ibu bapa, penjaga dan agensi yang bertanggungjawab. Penelitian ini tidak akan hanya dilakukan oleh KPWKM secara silo, tetapi sudah pasti kementerian dan pihak-pihak berkepentingan yang lain akan dilibatkan bersama memandangkan ia juga menyentuh ruang lingkup serta bidang kuasa pelbagai pihak.
Jadi, KPWKM turut akan menilai keperluan untuk memperjelas fungsi dan kuasa pihak yang terlibat dalam pengurusan kes kanak-kanak, memperkukuh penyelarasan pelbagai agensi serta memastikan intervensi dan perkhidmatan yang disediakan lebih responsif kepada keperluan kanak-kanak. Cadangan penambahbaikan tersebut, insya-Allah, akan dimasukkan dalam pindaan akta mengikut kesesuaian setelah penelitian perundangan, dasar dan pelaksanaan serta sesi libat urus dengan pihak berkepentingan diselesaikan. Sekian, terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua
Terima kasih, Menteri. Sekarang saya jemput...
Puan Tiew Way Keng
Soalan tambahan.
Timbalan Yang di-Pertua
Soalan terakhir. Saya jemput Dato' Sri Mohamad Zaini bin Salleh.
Dato’ Sri Mohamad Zaini bin Salleh
Terima kasih, Datuk Yang di-Pertua. Saya juga merupakan Senator yang pertama untuk mengemukakan soalan.
Burung merpati terbang sekawan, Hinggap di tepi daun palas, Dengan izin Timbalan Yang di-Pertua Dewan, Soalan saya nombor dua belas.
12. Dato' Sri Mohamad Zaini bin Salleh minta Menteri Pendidikan Tinggi menyatakan:
(a) apakah langkah-langkah pihak kementerian dalam meningkatkan keboleh pasaran graduan supaya memperoleh pekerjaan setara kelayakan dalam tempoh enam bulan selepas tamat pengajian; dan
(b) apakah strategi kementerian dalam mengurangkan kadar graduan menganggur serta mengatasi isu ketidakpadanan antara kelayakan akademik dan keperluan pasaran kerja.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi - Tuan Adam Adli Abd Halim
Bismillahirrahmanirrahim, Tuan Yang di-Pertua. Kementerian...
[Ketawa] Nanti saya fikirkan pantun.
Timbalan Yang di-Pertua
[Ketawa] Pasal ni pertanyaan dia yang pertama dalam Dewan ni, jadi kena balas pantun dia [Ketawa]
Tuan Adam Adli Abd Halim
Kementerian Pendidikan Tinggi melalui sistem Kajian Pengesanan Graduan akan terus memantau status pekerjaan graduan dalam tempoh enam bulan selepas tamat pengajian sebagai asas penambahbaikan dasar dan intervensi untuk kita tingkatkan kebolehpasaran graduan kita.
Pelbagai langkah strategik selaras dengan agenda Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia 2026–2035 dilaksanakan merangkumi pembangunan bakat dan kerjasama komprehensif dengan pihak industri.
Antaranya yang pertama, latihan berkemahiran berfokus, sijil profesional dan jaminan pekerjaan melalui antaranya tiga program iaitu Program Intervensi Kebolehpasaran Graduan, Program Tauliah Industri dan Profesional serta pengiktirafan profesional gergasi teknologi ini menerusi kerjasama rapat KPT dengan syarikat-syarikat global seperti Google, Microsoft dan juga Huawei untuk kita tawarkan sijil-sijil profesional industri berkaitan. Contohnya, kecerdasan buatan (AI) atau data raya, internet of things yang juga menepati dengan piawaian antarabangsa.
Kedua, kita juga laksanakan pembelajaran berasaskan pekerjaan atau work-based learning yang intensif seperti IDI di bawah kerangka EXCEL, Program 2u2i menggabungkan dua tahun pengajian di universiti dan juga dua tahun latihan industri, manakala ijazah perantisan yang mengamalkan konsep earn and learn dengan 70 peratus hingga 80 peratus pembelajaran itu berlangsung di tempat kerja. Juga kita ada penubuhan Makmal Inovasi dan Automasi, CiA Lab di USM bersama dengan Sandisk untuk kita sediakan pembelajaran berasaskan pengalaman serta pendedahan langsung kepada aplikasi teknologi industri yang sebenar.
Kemudian, kita juga ada satu lagi iaitu penjajaran kurikulum berpaksikan keperluan semasa, yang mana ini merangkumi tiga perkara. Antara lainnya apa? Integrasi teknologi AI, di mana sekurang-kurangnya satu subjek diintegrasikan dengan teknologi AI atau kecerdasan buatan bagi setiap program pengajian di universiti awam bermula tahun 2025.
Kedua, kita juga telah pun gariskan di mana universiti awam wajib untuk menubuhkan Majlis Penasihat Industri Universiti, Industry Advisory Panel atau IAP dalam pembangunan program akademik baru dan pemantauan kurikulum sedia ada untuk kita pastikan program yang ditawarkan relevan serta tepat dengan kehendak pasaran.
Seterusnya kita ada kerjasama dengan syarikat multinasional melalui beberapa memorandum persefahaman, termasuklah dengan SIRIM, Chartered Institute of Logistics and Transport, Association Chartered Certified Accountants dan juga Malaysia Rail Link Sendirian Berhad.
Ahli Dewan yang dimuliakan, Tuan Yang di-Pertua, menjawab kepada strategi kementerian dalam mengurangkan kadar graduan menganggur serta mengatasi isu ketidakpadanan antara kelayakan akademik dan keperluan pasaran kerja, kita juga melaksanakan kerjasama strategik, antara lainnya seperti kolaborasi bersama dengan PERKESO dan MYFutureJobs untuk kita pastikan berlaku padanan pekerjaan graduan yang setaraf dengan kelayakan mereka.
Kita juga pastikan ada sinergi rentas agensi secara aktif bersama TalentCorp, PERKESO, Malaysia Investment Development Authority atau MIDA dan juga Jabatan Perangkaan Malaysia
(DOSM) untuk kita pastikan kita boleh terus pantau angka ini.
Dan terakhir, selain itu KPT juga kita telah ubah pendekatan bagi lahirkan graduan menjadi pencipta pekerjaan, job creator melalui Pelan Tindakan Keusahawanan Institusi Pendidikan Tinggi (PTK–IPT) 2026–2030 yang diluncurkan pada 15 Mei 2026 yang lepas. Pelan ini kita beri penekanan terhadap keusahawanan digital, ekonomi data raya dan keusahawanan sosial yang mampu melatih pelajar daripada sekadar mencari pekerjaan kepada pencipta peluang pekerjaan sendiri. Terima kasih Yang Berhormat.
Timbalan Yang di-Pertua
Soalan tambahan Yang Berhormat.
Dato' Sri Mohamad Zaini bin Salleh
Datuk Yang di-Pertua, saya ingin mengemukakan sedikit tambahan lagi. Adakah pihak kementerian bercadang memperluaskan program latihan industri berbayar serta mewajibkan kerjasama strategik di antara universiti dan industri bagi meningkatkan peluang pekerjaan bagi graduan? Terima kasih Datuk Yang di-Pertua.
Timbalan Yang di-Pertua
YB Menteri.
Tuan Adam Adli Abd Halim
Ya betul, sebab itu macam yang kita sebut tadi, ada satu garis panduan ataupun sebenarnya dasar yang telah pun kita wajibkan bagi setiap universiti, di mana perlu ditubuhkan Majlis Penasihat Industri Universiti, Industry Advisory Panel (IAP) supaya kita boleh terus pantau program-program yang ditawarkan, kurikulum dan juga perkembangan didikan tersebut supaya setaraf dan sesuai dengan kehendak industri.
Kita selalu terima respons daripada industri, di mana dianggap ataupun dipanjangkan kepada KPT, keperluan untuk pembangunan kurikulum kita ini harus sentiasa up-to-date dengan izin, ataupun selaras dan sejajar dengan apa yang sedang berlaku di dunia luar, terutama sekali teknologi-teknologi industri yang berteknologi tinggi. Maka sebab itu kita adakan dasar wajib bagi universiti untuk jalinkan hubungan dengan industri menerusi panel penasihat ini. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua
Terima kasih Ahli-ahli Yang Berhormat, selesailah Sesi Pertanyaan bagi Jawab Lisan.
Ahli-ahli Yang Berhormat, sebelum saya memanggil Yang Berhormat Menteri selaras dengan peruntukan Peraturan Mesyuarat 11(5), saya hendak membuat ketetapan bahawa Majlis Dewan Negara hari ini tidak akan ditangguhkan sehingga selesai diputuskan dan diluluskan D.R.7/2026, Rang Undang-undang Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2026 seperti yang tertera dalam Nombor 1, dalam Aturan Urusan Mesyuarat hari ini dan selepas itu Majlis Mesyuarat akan ditangguhkan sehingga jam 10 pagi, hari Rabu, 22 Julai 2026.
[Sesi Pertanyaan-pertanyaan bagi Jawab Lisan tamat]
Timbalan Yang di-Pertua
Dipersilakan YB. Menteri.
Timbalan Menteri Pengangkutan - Datuk Haji Hasbi bin Haji Habibollah
Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Tuan Yang di-Pertua, saya mohon mencadangkan bahawa Rang Undang-undang Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2026 dibacakan kali yang kedua sekarang.
Tuan Yang di-Pertua, rang undang-undang ini bertujuan meminda Akta Pengangkutan Jalan 1987 [Akta 333] bagi memperkukuh kerangka perundangan pengangkutan jalan negara supaya lebih selaras dengan perkembangan semasa, khususnya dari aspek pendigitalan perkhidmatan JPJ, penguatkuasaan jalan raya, keselamatan kenderaan, kawalan kenderaan motor asing, perlindungan pengguna jalan raya serta penambahbaikan terhadap beberapa peruntukan melalui pengenalan peruntukan baharu dan pindaan terhadap peruntukan sedia ada.
Akta 333 merupakan antara undang-undang utama yang menjadi asas kepada pengurusan, pengawalseliaan dan penguatkuasaan jalan raya di negara kita. Namun, realiti pengangkutan jalan pada hari ini telah banyak berubah. Perkhidmatan JPJ semakin digital, corak mobiliti rakyat semakin pelbagai dan penguatkuasaan kini semakin bergantung kepada data, kamera serta sistem automasi.
Pada masa yang sama, kita turut berdepan dengan pelbagai cabaran dalam aspek penguatkuasaan dan kawal selia yang memerlukan perhatian berterusan termasuk isu lumba haram, kegiatan tonto, penggunaan mikromobiliti, perkembangan teknologi kenderaan elektrik, pematuhan kenderaan asing rentas sempadan, pemalsuan dokumen kenderaan serta keselamatan kenderaan motor dan komponennya.
Oleh itu, pindaan ini bukan sekadar perubahan kepada peruntukan undang-undang, sebaliknya ia merupakan usaha Kerajaan MADANI untuk memastikan undang-undang jalan raya negara sentiasa selaras dengan keperluan semasa, lebih jelas, lebih praktikal dan mampu menangani cabaran yang dihadapi hari ini.
Tuan Yang di-Pertua, prinsip kerajaan dalam pindaan ini adalah jelas iaitu tegas terhadap kesalahan yang boleh menjejaskan keselamatan jalan raya tetapi pada masa yang sama, memudahkan urusan rakyat. Kita mahu undang-undang memberi tumpuan kepada kesalahan yang benar-benar berisiko sambil meningkatkan kecekapan perkhidmatan JPJ melalui pendigitalan, penyampaian perkhidmatan yang lebih baik dan penguatkuasaan yang adil.
Beberapa perkara lain yang turut mendapat perhatian masyarakat termasuk isu pemanduan di bawah pengaruh alkohol dan dadah. Mekanisme pampasan kepada mangsa atau waris, bayaran ganti rugi kepada keluarga mangsa, pengukuhan sistem mata demerit serta semakan hukuman bagi kesalahan tertentu telah diluluskan secara dasar oleh Jemaah Menteri.
Pindaan mengenai perkara ini akan dibawa untuk pindaan RUU pada Mesyuarat yang akan datang.
Timbalan Menteri Pengangkutan - Datuk Haji Hasbi bin Haji Habibollah
Saya sengaja membawa perkara ini sebab ia tidak— memang termasuk dalam undang- undang ini, tapi insya-Allah pada hujung tahun. Secara keseluruhannya, pada kali ini, undang- undang ini mengandungi 42 fasal pindaan yang boleh dirumuskan kepada lima komponen utama iaitu:
(i) pendigitalan perkhidmatan teras JPJ dan penggunaan dokumen serta notis secara elektronik;
(ii) pengukuhan penguatkuasaan terhadap kesalahan serius dan kesalahan yang kerap berlaku;
(iii) perwujudan peruntukan baharu bagi menangani isu lumba haram, tonto, mikromoboliti dan akauntabiliti pemunya kenderaan;
(iv) kawal selia kenderaan elektrik, kenderaan khas, kenderaan yang diubahsuai, kenderaan motor asing dan kenderaan rentas sempadan; dan
(v) mengemas kini peruntukan berkaitan kuasa Menteri dan pihak berkuasa berkaitan bagi memastikan pelaksanaan dasar, kawal selia, tatacara dan penetapan fi dapat dilaksanakan dengan lebih jelas dan teratur.
Tuan Yang di-Pertua, fasal 1 bertujuan memperuntukkan “Tajuk ringkas” akta ini dan menetapkan bahawa akta ini hendaklah mula berkuat kuasa pada tarikh yang ditetapkan oleh Menteri melalui pemberitahuan dalam warta.
Fasal 2 bertujuan meminda seksyen 2, Akta 333 bagi memasukkan beberapa takrif baharu dan memperkemas takrif sedia ada. Antaranya termasuk takrif kawasan pengisytiharan, mesej elektronik dan sistem memproses maklumat. Pindaan ini penting bagi menyokong pelaksanaan urus niaga JPJ secara digital dan membolehkan lesen kenderaan motor, lesen memandu serta lesen vokasional dikeluarkan dalam apa-apa bentuk, termasuk bentuk digital.
Fasal ini juga memperluaskan takrif jalan bagi maksud kesalahan tertentu supaya turut meliputi tempat letak kereta. Ini mengambil kira keadaan di mana terdapat kenderaan yang ditinggalkan atau diletakkan secara tidak bertanggungjawab sehingga menyusahkan, membahayakan atau menghalang pengguna jalan raya lain.
Fasal 3 bertujuan meminda seksyen 4A bagi memperjelas kuasa pegawai polis dan pegawai pengangkutan jalan untuk menjalankan kewajipan mengiringi, mengawal dan mengubah haluan mana-mana lalu lintas. Pindaan ini diperlukan supaya tindakan penguatkuasaan, kawalan trafik dan pengurusan pergerakan kenderaan di jalan raya mempunyai asas undang-undang yang jelas.
Fasal 4 adalah berkaitan— adalah pindaan bersifat editorial bagi menyeragamkan penggunaan istilah di dalam seksyen 9.
Fasal 5 pula bertujuan meminda seksyen 10, berhubung pendaftaran kenderaan motor.
Bagi kenderaan motor elektrik, pindaan ini memperjelaskan bahawa kenderaan tersebut perlu mempunyai nombor siri kenderaan motor elektrik dan nombor casis yang terang, jelas dan tidak terusik. Ini mengambil kira perkembangan kenderaan elektrik yang tidak mempunyai nombor enjin seperti kenderaan konvensional.
Fasal-fasal berikutnya menyentuh penyelarasan kadar denda minimum, penalti dan had kompaun bagi beberapa kesalahan tertentu di bawah Akta 333. Antaranya, termasuk kesalahan tidak memaparkan nombor pendaftaran dengan betul, menggunakan kenderaan tanpa lesen kenderaan motor yang sah, memandu tanpa lesen memandu yang sah, memandu melebihi had laju, gagal menjalani pemeriksaan berkala bagi kenderaan tertentu, gagal mematuhi arahan atau syarat lalu lintas.
Dalam hal ini, saya ingin menegaskan bahawa peningkatan kadar kompaun daripada RM300 kepada RM500 tidak bermaksud semua pesalah akan dikenakan kompaun RM500 secara automatik. Bagi kesalahan yang boleh dikompaun, pindaan ini menaikkan had maksimum tawaran kompaun, manakala kadar sebenar masih tertakluk kepada jenis kesalahan, tahap keseriusan kesalahan, tempoh penyelesaian kompaun secara tatacara— serta tatacara yang ditetapkan.
Namun begitu, kerajaan bercadang untuk memberikan tempoh peralihan sebagai kesedaran kepada pengguna jalan raya bahawa perlu ada usaha untuk mengubah sikap supaya tidak berhati-hati— lebih berhati-hati di jalan raya. Sehubungan itu, penguatkuasaan kadar maksimum kompaun baharu ini dicadangkan untuk dimulakan pada 1 Januari 2029.
Tujuan pindaan ini adalah untuk meningkatkan pematuhan, bukan untuk membebankan rakyat atau meningkatkan kutipan hasil kerajaan. Kesalahannya sama tetapi hukumannya disemak semula supaya kekal relevan dan mempunyai kesan pencegahan yang lebih berkesan.
Fasal berkaitan seksyen 16 dan seksyen 17 pula bertujuan memperkenalkan konsep kawasan pengisytiharan bagi lesen kenderaan motor. Melalui pindaan ini, pemilik atau pemohon lesen kenderaan motor perlu mengisytiharkan kawasan penggunaan utama kenderaan semasa membuat permohonan atau pembaharuan lesen. Sekiranya berlaku perubahan kawasan penggunaan, maklumat tersebut hendaklah dimaklumkan kepada JPJ mengikut tatacara yang ditetapkan. Sebagai contoh, di Sabah, di Sarawak, di Semenanjung, Langkawi dan Labuan. Finya adalah berbeza.
Pindaan ini bertujuan memastikan fi lesen kenderaan motor dikenakan berdasarkan kawasan penggunaan sebenar kenderaan bagi meningkatkan ketelusan, mengelakkan ketirisan hasil dan memastikan pelaksanaan sistem pelesenan yang lebih adil dan teratur. Saya ingin menegaskan bahawa pindaan ini tidak melibatkan kenaikan kadar fi lesen kenderaan motor.
Sebagai contoh, jika sesebuah kenderaan digunakan secara tetap di Semenanjung Malaysia, maka fi lesen kenderaan motor (LKM) hendaklah berdasarkan kadar yang ditetapkan bagi Semenanjung Malaysia. Begitu juga bagi kenderaan yang digunakan secara tetap di Sabah, Sarawak, Wilayah Persekutuan Labuan dan Pulau Langkawi, fi LKM hendaklah berdasarkan kadar yang berkuat kuasa di wilayah tersebut. Ini bermaksud kadar LKM yang sedia ada di Sabah dan Sarawak, Wilayah Persekutuan Labuan dan Pulau Langkawi, kekal sama selagi kenderaan tersebut digunakan di kawasan tersebut.
Pendekatan ini memastikan sistem pelesenan lebih teratur, adil dan mencerminkan penggunaan sebenar kenderaan. Ia juga bertujuan menangani isu ketirisan hasil kerajaan apabila pembaharuan LKM dibuat di kawasan yang mempunyai kadar fi lebih rendah, sedangkan kenderaan tersebut sebenarnya digunakan di kawasan yang lain.
Fasal berkaitan seksyen 17 turut memberi kuasa kepada pengarah untuk tidak mengeluarkan lesen kenderaan motor, sekiranya butiran pengenalan kenderaan tidak dapat disahkan. Ini termasuk kenderaan di mana nombor casis, nombor enjin atau nombor siri kenderaan motor elektrik tidak jelas, rosak atau dipercayai telah diusik, dengan izin, tampered.
Tuan Yang di-Pertua, pindaan asal— pindaan fasal berkaitan seksyen 20, bertujuan menggantikan keperluan memaparkan lesen kenderaan motor kepada kewajipan mengemukakan maklumat lesen kenderaan motor apabila diminta oleh pegawai penguat kuasa.
Pindaan ini selaras dengan pelaksanaan pendigitalan perkhidmatan JPJ, di mana maklumat lesen boleh disahkan melalui rekod digital, mesej elektronik atau apa-apa bentuk keterangan lain yang diterima oleh pegawai penguat kuasa. Ini bermaksud beban pembuktian bahawa LKM atau lesen memandu yang telah tamat tempoh adalah terletak pada pegawai penguat kuasa.
Melalui pindaan ini, penggunaan jalan raya tidak lagi perlu bergantung sepenuhnya kepada dokumen fizikal atau membuktikan status lesen kenderaan motor. Sebaliknya maklumat lesen boleh dikemukakan dalam bentuk digital atau melalui kaedah lain yang ditetapkan oleh ketua pengarah. Pendekatan ini akan memudahkan urusan rakyat serta membantu meningkatkan kecekapan semakan dan penguatkuasaan.
Tuan Yang di-Pertua, fasal berkaitan seksyen 26 bertujuan menjelaskan bahawa seseorang hanya boleh memandu kenderaan motor sekiranya memiliki lesen memandu yang sah. Pindaan ini turut meningkatkan kadar denda minimum bagi kesalahan memandu tanpa lesen memandu yang sah. Langkah ini penting kerana lesen memandu membuktikan seseorang telah memenuhi syarat kelayakan dan latihan yang ditetapkan. Tanpa lesen yang sah, risiko kepada keselamatan pengguna jalan raya boleh meningkat.
Fasal berkaitan seksyen 29 bertujuan membolehkan pengarah untuk tidak mengeluarkan lesen memandu sekiranya pemohon masih mempunyai perkara yang belum diselesaikan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987, Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987 atau Akta Pengangkutan Awam Darat 2010. Pindaan ini bertujuan memastikan semua kewajipan dan tindakan penguatkuasaan yang berkaitan diselesaikan terlebih dahulu sebelum lesen memandu dikeluarkan.
Timbalan Menteri Pengangkutan - Datuk Haji Hasbi bin Haji Habibollah
Selain itu pindaan seksyen 29 turut memperjelaskan bahawa seseorang yang memperoleh lesen memandu bagi kelas atau kategori kenderaan yang baharu, perlu melalui tempoh lesen memandu percubaan bagi kelas atau kategori tersebut. Langkah ini bertujuan memastikan pemandu mempunyai kemahiran, pengalaman dan tahap kompetensi yang mencukupi sebelum diberikan lesen memandu penuh bagi kelas kenderaan berkenaan.
Sebagai contoh, seseorang yang telah mempunyai lesen memandu kompeten ataupun CDL bagi kereta dan kemudiannya memperoleh lesen bagi kategori kenderaan seperti bas yang memerlukan kelayakan berbeza, perlu menjalani tempoh lesen memandu percubaan bagi kategori baharu tersebut. Ini bagi memastikan pemandu benar-benar mahir dan memahami keperluan pengendalian kenderaan dalam kategori yang baharu sebelum diberikan lesen yang penuh.
Fasal berkaitan seksyen 32 pula bertujuan meningkatkan hukuman terhadap kesalahan memandu semasa hilang kelayakan. Hilang kelayakan merujuk kepada keadaan di mana seseorang tidak dibenarkan memandu kerana lesen memandunya telah digantung, dibatalkan atau beliau telah dihalang daripada memegang atau mendapatkan lesen memandu oleh mahkamah. Pindaan ini meningkatkan hukuman penjara daripada tempoh tidak melebihi satu tahun kepada tempoh tidak melebihi tiga tahun. Selain itu denda turut ditingkatkan kepada tidak kurang daripada RM3,000 atau tidak melebihi RM10,000.
Sebagai contoh, seseorang yang lesen memandunya telah digantung kerana melakukan kesalahan lalu lintas yang serius tetapi masih memandu di jalan raya boleh dikenakan tindakan di bawah peruntukan ini. Oleh itu hukuman yang lebih tegas diperlukan bagi menggalakkan pematuhan terhadap undang-undang dan mengurangkan risiko kemalangan.
Tuan Yang di-Pertua, antara pindaan penting dalam rang undang-undang ini ialah perwujudan seksyen baharu 42A yang memperuntukkan kesalahan berlumba atau menduga kelajuan di jalan. Pada masa ini, tindakan terhadap aktiviti lumba haram lazimnya diambil di bawah peruntukan pemanduan berbahaya. Walau bagaimanapun, peruntukan tersebut tidak memperuntukkan secara khusus kesalahan berlumba atau menduga kelajuan. Keadaan ini boleh menimbulkan cabaran dari sudut penguatkuasaan apabila perbuatan berlumba dapat dikesan tetapi syarat atau unsur yang diperlukan untuk membuktikan kesalahan di bawah peruntukan lain tidak mencukupi.
Sehubungan itu, seksyen baharu 42A diperkenalkan bagi menjadikan perbuatan berlumba atau menduga kelajuan sebagai satu kesalahan yang khusus di bawah akta ini. Melalui pindaan ini, tindakan penguatkuasaan boleh diambil terhadap aktiviti tersebut tanpa perlu menunggu sehingga berlakunya kemalangan, kecederaan ataupun kehilangan nyawa. Sebagai contoh, sekiranya dua atau lebih penunggang motosikal berlumba atau menguji kelajuan sesama sendiri di jalan awam, tindakan boleh diambil, di bawah seksyen ini walaupun tiada kemalangan berlaku.
Begitu juga, jika sekumpulan pemandu kenderaan bermotor menggunakan jalan awam untuk menguji kelajuan kenderaan secara tidak sah, mereka boleh dikenakan tindakan di bawah peruntukan ini. Bagi kesalahan pertama, mana-mana orang yang didapati berlumba atau mengambil bahagian dalam menduga kelajuan di jalan boleh apabila disabitkan, didenda tidak kurang daripada RM2,000 dan tidak lebih daripada RM10,000 atau hukuman penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.
Bagi sabitan kali kedua atau kali kemudiannya, hukuman yang lebih berat diperuntukkan iaitu denda tidak kurang daripada RM5,000 dan tidak lebih daripada RM20,000 atau hukuman penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.
Tuan Yang di-Pertua, fasal berkaitan seksyen 52 bertujuan membolehkan laporan kemalangan dibuat bukan sahaja di balai polis yang berhampiran, tetapi juga melalui apa-apa kaedah lain yang ditetapkan oleh Menteri selepas berunding dengan Menteri Dalam Negeri. Di bawah peruntukan sedia ada, pemandu yang terlibat dalam kemalangan dikehendaki hadir ke balai polis untuk membuat laporan. Walau bagaimanapun, keperluan ini dalam keadaan tertentu, boleh menimbulkan kesedaran, khususnya bagi kemalangan kecil yang tidak melibatkan kecederaan serius atau apabila pihak yang terlibat berada jauh dari balai polis.
Sehubungan itu, pindaan ini membuka ruang kepada pelaporan kemalangan melalui kaedah elektronik atau kaedah lain yang ditetapkan oleh kerajaan dari masa ke semasa. Sebagai contoh pada masa hadapan, laporan kemalangan kecil mungkin boleh dibuat melalui platform dalam talian atau aplikasi yang ditetapkan tanpa perlu hadir secara fizikal ke balai polis. Ini akan memudahkan urusan orang ramai, menjimatkan masa serta mengurangkan kesesakan di balai polis.
Walau bagaimanapun, saya ingin menegaskan bahawa pindaan ini tidak menghalang laporan kemalangan daripada terus dibuat di balai polis. Sebaliknya ia menyediakan pilihan kaedah pelaporan yang lebih fleksibel dan bersesuaian dengan perkembangan teknologi semasa.
Fasal berkaitan seksyen 53B bertujuan menutup kelompongan undang-undang berkaitan kesalahan yang dikesan melalui kamera penguatkuasaan. Pada masa ini, terdapat keadaan di mana pemunya berdaftar boleh mengelakkan tanggungjawab dengan mendakwa tidak mengetahui identiti atau alamat pemandu yang menggunakan kenderaan tersebut semasa kesalahan dilakukan. Melalui pindaan ini, alasan sedemikian tidak lagi boleh digunakan, sekiranya pemunya berdaftar telah menyebabkan atau membenarkan kenderaan itu digunakan sehingga berlakunya kesalahan yang dirakam atau dikesan melalui kamera penguatkuasaan.
Pindaan ini penting bagi memastikan pemilik berdaftar mengambil tanggungjawab yang sewajarnya terhadap penggunaan kenderaan mereka. Prinsip yang dibawa adalah mudah, iaitu seseorang yang memiliki atau mengawal penggunaan sesuatu kenderaan tidak boleh melepaskan tanggungjawab begitu sahaja apabila kesalahan dikesan melalui sistem penguatkuasaan.
Sebagai contoh, sekiranya sebuah syarikat pengangkutan membenarkan pemandunya menggunakan kenderaan syarikat dan kenderaan tersebut melakukan kesalahan yang dirakam melalui kamera penguatkuasaan, termasuk sistem timbang automatik, syarikat sebagai pemunya berdaftar tidak boleh sekadar menyatakan bahawa mereka tidak mengetahui siapa pemandunya pada ketika itu tanpa mengambil langkah yang munasabah untuk mengenal pasti pengguna kenderaan tersebut.
Ringkasnya, pindaan ini bertujuan meningkatkan akauntabiliti pemunya kenderaan, memperkukuh keberkesanan penguatkuasaan berasaskan teknologi serta memastikan kesalahan yang dikesan melalui kamera penguatkuasaan dapat ditangani dengan lebih berkesan. Rang undang-undang ini juga memperkenalkan peruntukan baharu bagi menangani kegiatan tonto yang selama ini menjadi cabaran kepada agensi penguat kuasa.
Kegiatan tonto melibatkan kegiatan memantau, mengekori, menghalang atau mengganggu operasi penguatkuasaan termasuk menyebarkan maklumat operasi kepada pihak yang melakukan kesalahan, supaya mereka dapat mengelak tindakan undang-undang. Sehingga hari ini, kita boleh mengambil tindakan terhadap pesalah jalan raya tetapi sukar mengambil tindakan terhadap pihak yang membantu pesalah mengelak penguatkuasaan. Pindaan ini bertujuan menutup jurang tersebut supaya operasi penguatkuasaan, khususnya terhadap kesalahan seperti lebih muatan, kenderaan tidak patuh syarat dan kesalahan kenderaan perdagangan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
Kegiatan tonto menjejaskan keberkesanan penguatkuasaan dan dalam sesetengah keadaan, boleh mengancam keselamatan pegawai penguat kuasa yang sedang menjalankan tugas. Oleh itu peruntukan khusus ini adalah perlu bagi memastikan tindakan boleh diambil terhadap pihak yang menghalang atau menggagalkan operasi penguatkuasaan. Di bawah seksyen baharu 110B, mana-mana orang yang menghalang, mengganggu, menyerang, mengancam, mengekori kenderaan pegawai penguat kuasa atau menyebarkan maklumat mengenai aktiviti penguatkuasaan boleh dikenakan tindakan.
Kesalahan ini boleh dihukum dengan denda tidak kurang daripada RM10,000 dan tidak lebih daripada RM50,000 atau penjara tidak kurang daripada satu tahun dan tidak lebih daripada lima tahun atau kedua-duanya. Kesalahan ini juga merupakan kesalahan boleh ditangkap.
Timbalan Menteri Pengangkutan - Datuk Haji Hasbi bin Haji Habibollah
Tuan Yang di-Pertua, fasal berkaitan seksyen 66 bertujuan memperjelaskan dan mengemas kini peruntukan yang membolehkan Menteri membuat kaedah-kaedah bagi pelaksanaan beberapa perkara di bawah Akta 333. Antaranya termasuk kawasan pengisytiharan, penubuhan dan kawal selia sekolah memandu atau institut memandu, latihan pemandu, pendaftaran pihak yang menjalankan penentusahan teknikal, pembinaan, penggubahan, pengubahsuaian dan pembaikan kenderaan motor serta komponen kenderaan motor.
Pindaan ini juga membolehkan kawal selia keselamatan kenderaan motor dan komponennya dilaksanakan dengan lebih menyeluruh termasuk penetapan fi berkaitan. Kuasa kawal selia ini sebenarnya telah lama wujud dalam pelbagai bentuk namun peruntukan sedia ada didapati perlu diperjelas dan diperkemaskan khususnya apabila melibatkan perkembangan teknologi kenderaan dan amalan industri semasa.
Sebagai contoh, apabila terdapat model kenderaan baharu, komponen baharu atau teknologi keselamatan baharu diperkenalkan di pasaran. Pindaan ini membolehkan keperluan teknikal dan prosedur kelulusan ditetapkan melalui peraturan tanpa perlu meminda akta induk setiap kali.
Fasal berkaitan seksyen 66A bertujuan meningkatkan kadar denda minimum bagi kesalahan gagal mempunyai perakuan pemeriksaan yang sah bagi kenderaan motor tertentu.
Pindaan ini melibatkan kenderaan yang diwajibkan menjalani pemeriksaan berkala bagi memastikan kenderaan berada dalam keadaan selamat untuk digunakan di jalan raya.
Pemeriksaan berkala merupakan mekanisme penting untuk memastikan kenderaan senantiasa mematuhi standard keselamatan yang ditetapkan. Pemeriksaan ini dapat mengesan kerosakan atau kegagalan teknikal yang berpotensi menjejaskan keselamatan pengguna jalan raya yang lain.
Tuan Yang di-Pertua, fasal berkaitan seksyen 66H dan 66J bertujuan memperkemas kawal selia kenderaan motor asing yang memasuki Malaysia. Pindaan ini membolehkan Menteri Pengangkutan menetapkan perkara berkaitan permit masuk kenderaan motor asing termasuk fi, tempoh sah laku permit dan syarat-syarat yang perlu dipatuhi oleh pemilik atau pengguna kenderaan tersebut.
Selain itu, ketua pengarah atau pegawai pengangkutan jalan boleh melarang kenderaan motor asing daripada memasuki atau keluar dari Malaysia, sekiranya kenderaan tersebut tidak mempunyai permit masuk yang sah atau masih mempunyai perkara yang belum diselesaikan di bawah undang-undang yang berkaitan.
Fasal berkaitan seksyen baharu 119C pula memperluaskan prinsip yang sama kepada kenderaan motor berdaftar Malaysia yang melakukan perjalanan rentas sempadan. Ketua pengarah, pegawai polis atau pegawai pengangkutan jalan boleh melarang kenderaan tersebut daripada memasuki atau keluar dari Malaysia sekiranya masih terdapat saman, kes atau kewajipan yang belum diselesaikan di bawah undang-undang yang berkaitan.
Pindaan ini bertujuan memastikan pemilik kenderaan menyelesaikan saman dan kes tertunggak terlebih dahulu sebelum melakukan perjalanan rentas sempadan. Pada masa yang sama, pindaan ini membantu meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan serta membendung penyalahgunaan seperti penggunaan kenderaan klon, kenderaan curi dan kenderaan yang tidak mematuhi keperluan undang-undang.
Fasal berkaitan seksyen 72 bertujuan memperjelaskan kuasa berkaitan pengalihan dan penahanan kenderaan yang melanggar peraturan tempat letak kereta atau menghalang lalu lintas. Walaupun kuasa untuk mengalihkan kenderaan telah sedia diperuntukkan peruntukan sedia ada tidak memperincikan dengan jelas tatacara pengalihan, tanggungan risiko serta fi yang berkaitan.
Keadaan ini boleh menimbulkan kekeliruan dalam pelaksanaan penguatkuasaan dan pertikaian oleh pemilik kenderaan. Melalui pindaan ini, kenderaan yang melanggar peraturan parkir atau menghalang lalu lintas boleh dialihkan ke tempat lain atas risiko pemunya kenderaan.
Kenderaan tersebut juga boleh ditahan sehingga fi yang ditetapkan dijelaskan.
Sebagai contoh, sekiranya sesebuah kenderaan diletakkan di laluan kecemasan, laluan bas, pintu masuk premis atau lokasi yang menghalang kelancaran lalu lintas, pihak berkuasa boleh mengalihkan kenderaan tersebut dan mengenakan fi yang berkaitan sebelum kenderaan itu dilepaskan semula kepada pemiliknya.
Pindaan ini bertujuan memastikan tindakan penguatkuasaan dapat dilaksanakan dengan lebih teratur dan berkesan di samping membantu menangani masalah parkir yang boleh menyebabkan kesesakan serta menjejaskan keselamatan dan kelancaran lalu lintas.
Tuan Yang di-Pertua, fasal berkaitan seksyen 76A dan seksyen 79 pula menyentuh kesalahan berkaitan belok kiri dibenarkan, arahan pegawai penguat kuasa serta isyarat lalu lintas.
Pindaan ini menaikkan kadar denda minimum bagi meningkatkan tahap pematuhan terhadap peraturan asas lalu lintas. Kegagalan mematuhi lampu isyarat, lampu isyarat, arahan pegawai atau peraturan di persimpangan bukan kesalahan kecil. Kesalahan seperti ini boleh menyebabkan kemalangan serius, terutama di kawasan bandar, sekolah, hospital dan persimpangan yang mempunyai aliran trafik yang tinggi.
Fasal berkaitan seksyen 102 pula bertujuan meningkatkan kadar penalti terhadap kegagalan penanggung insurans memaklumkan kepada Pengarah apabila sesuatu polisi tidak dikeluarkan, dibatalkan, dipindahkan atau diubah. Pindaan ini penting bagi memastikan rekod insurans kenderaan sentiasa tepat dan boleh disemak dengan cepat.
Fasal berkaitan seksyen 108 pula bertujuan meningkatkan hukuman bagi kesalahan membuat pernyataan palsu atau memalsukan rekod daftar, perakuan atau dokumen di bawah Akta 333. Kesalahan ini amat serius kerana melibatkan penipuan dokumen, kenderaan klon, kenderaan curi, kenderaan tidak sah taraf, tiada lesen memandu, tiada lesen kenderaan motor serta menyebabkan ketirisan hasil kerajaan.
Bagi kesalahan tertentu, hukuman dicadangkan dipertingkatkan dengan denda yang lebih tinggi dan tempoh hukuman penjara yang lebih berat. Ini kerana pemalsuan dokumen kenderaan bukan sekadar kesalahan pentadbiran tetapi sering dikaitkan dengan sindiket, aktiviti jenayah terancang dan manipulasi identiti kenderaan.
Sebagai contoh, sebuah kenderaan curi boleh diberikan identiti baharu menggunakan dokumen palsu dan kemudian dijual atau digunakan, seolah-olah ia nya adalah kenderaan yang sah. Perkara seperti ini bukan sahaja merugikan pemilik asal malah menyukarkan tindakan penguatkuasaan kerana rekod kenderaan telah dimanipulasi.
Bagi memperlihatkan keseriusan kerajaan terhadap kesalahan ini, hukuman di bawah seksyen 108 turut dipertingkatkan. Bagi pernyataan palsu tertentu, hukuman dinaikkan kepada denda tidak kurang daripada RM10,000 dan tidak lebih daripada RM50,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun.
Bagi kesalahan pemalsuan rekod tertentu pula, hukuman dinaikkan kepada denda tidak kurang daripada RM10,000 dan tidak lebih daripada RM200,000 atau penjara tidak kurang daripada satu tahun dan tidak lebih daripada 10 tahun atau kedua-duanya.
Rang undang-undang ini juga meminda beberapa peruntukan sokongan bagi memperkemas aspek pembuktian, penyampaian notis, penalti am, kuasa mengkompaun serta pengurusan sekatan urusan dan transaksi. Pindaan ini meliputi seksyen 117 berhubung tempoh pemeriksaan alat timbang, seksyen 118 berhubung penyampaian notis secara elektronik, seksyen 119 berkaitan kesalahan am dan penalti, seksyen 120 berkaitan kuasa mengkompaun, seksyen 119B berhubung kuasa menolak atau menggantung urusan atau transaksi serta Jadual Ketiga bagi memasukkan kesalahan di bawah Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987 [Akta 334] dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 [Akta 715] ke dalam skop penguatkuasaan yang berkaitan dengan urusan pelesenan dan pendaftaran di bawah akta ini.
Tuan Yang di-Pertua, fasal berkaitan seksyen 112 dan seksyen 127 pula bertujuan memperjelaskan peruntukan berkaitan kenderaan mikromobiliti, termasuk tatacara penahanan, penyimpanan dan pelupusan kenderaan yang terlibat dengan kesalahan di bawah akta ini.
Timbalan Menteri Pengangkutan - Datuk Haji Hasbi bin Haji Habibollah
Pada masa ini, penggunaan kenderaan mikro mobiliti seperti skuter elektrik didapati semakin meluas di kawasan awam. Sehubungan itu, peruntukan undang-undang perlu diperkemas bagi memastikan tindakan terhadap penggunaan yang menyalahi peraturan dapat dilaksanakan secara lebih jelas, teratur dan konsisten.
Pindaan ini bukan bertujuan mengharamkan penggunaan mikro mobiliti, sebaliknya pindaan ini bertujuan menyediakan kerangka perundangan yang jelas bagi menguruskan kenderaan mikro mobiliti yang disita termasuk urusan penahanan, penyimpanan, tuntutan semula dan pelupusan supaya pelaksanaannya dapat dijalankan secara teratur dan berlandaskan undang-undang.
Tuan Yang di-Pertua, fasal berkaitan seksyen 126 bertujuan memperjelaskan kuasa Menteri untuk memberi kuasa kepada mana-mana orang menjalankan fungsi tertentu di bawah akta 333 bagi pihak kerajaan, tertakluk kepada syarat dan kawal selia yang ditetapkan. Pindaan ini turut membolehkan syarat fi dan penalti bagi ketidakpatuhan ditetapkan dengan lebih jelas.
Langkah ini penting bagi memastikan pihak yang diberi kuasa menjalankan fungsi tersebut mengikut standard prosedur dan tanggungjawab yang ditetapkan oleh kerajaan. Sebagai contoh, sekiranya kerajaan membenarkan pihak tertentu menjalankan fungsi pemeriksaan kenderaan motor, pindaan ini menyediakan asas perundangan yang jelas untuk mengawal selia pelaksanaannya, termasuk pematuhan terhadap syarat pemberian kuasa, pembayaran fi dan tindakan terhadap ketidakpatuhan.
Saya juga ingin menjelaskan bahawa pindaan Akta 333 akan dibuat secara berperingkat.
Pindaan kali ini adalah berdasarkan perkara yang boleh— yang telah dimuktamadkan dari segi dasar perundangan dan kebolehlaksanaan. Pendekatan ini menunjukkan komitmen berterusan kerajaan dalam mempertingkatkan keselamatan jalan raya.
Walau bagaimanapun, setiap pindaan perlu dilaksanakan secara teratur, berasaskan pertimbangan dasar yang kukuh serta mengambil kira aspek pelaksanaan dan penguatkuasaan.
Tuan Yang di-Pertua, secara keseluruhannya rang undang-undang ini mencerminkan komitmen kerajaan untuk memastikan Akta Pengangkutan Jalan1987 kekal relevan dengan perkembangan teknologi, keperluan penguatkuasaan dan perubahan landskap pengangkutan semasa.
Pindaan Rang Undang-undang Akta Pengangkutan Jalan ini mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI untuk melindungi nyawa rakyat, memperkukuh keselamatan jalan raya dan memastikan sistem pengangkutan negara kekal selamat, cekap serta relevan dengan keperluan masa hadapan selaras dengan nilai insan, kesejahteraan dan kemampuan. Tuan Yang di-Pertua, saya mohon mencadangkan.
Timbalan Menteri Luar Negeri - Dato Lukanisman bin Awang Sauni
Saya mohon menyokong.
Tuan Yang di-Pertua
Ahli Yang Berhormat, masalah di hadapan Majlis ialah rang undang-undang bernama suatu akta untuk meminda Akta Pengangkutan Jalan 1987 dibacakan kali yang kedua sekarang dan terbuka untuk dibahas.
Ada 20 orang Ahli Yang Berhormat nak berbahas. Maka ditetapkan berapa minit seorang, 5 kah, lapan kah, 10? Tak boleh kurang daripada 10— 10 minit ditetapkan untuk seorang dan dipersilakan Yang Berhormat Senator Dato’ Setia Salehuddin bin Saidin.
Dato’ Setia Salehuddin bin Saidin
Terima kasih kepada Dato Yang di-Pertua. Terlebih dahulu saya mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Timbalan Menteri atas satu pembentangan yang saya rasa menyeluruh. Cuma hari ini saya nak bangkitkan beberapa isu, mungkin untuk diteliti dan dibincangkan bersama ya.
Kita tahu bahawa kemalangan jalan raya sejak kebelakangan ini ialah satu episod yang begitu ketara. Begitu banyak kes-kes kemalangan maut— kalau kita hari-hari kita lihat bila sekali kemalangan itu melibatkan lebih daripada dua, tiga nyawa yang melayang hanya kerana berlakunya kemalangan atas faktor-faktor kecuaian, mekanikal, jalan raya dan sebagainya.
Dan antara langkah yang kerajaan cuba lakukan adalah dengan meminda Akta 333 ini dengan cara menaikkan— salah satunya menaikkan kompaun. Jadi, adalah diharapkan kenaikan ini bukanlah untuk sebagai menambah pendapatan negara, tetapi lebih menjurus kepada faktor deterrent supaya mereka yang melakukan kesalahan ataupun would be offenders ini akan mengambil kira bahawa hukumannya sekarang ini agak lebih berat daripada yang dahulu.
Namun, hukuman berat semata-mata tidak menjamin kemalangan tidak berlaku. Isu-isu berkaitan dengan kesalahan jalan raya ini tidak berlaku. Saya ingin memetik sedikit, satu isu yang baru-baru ini yang kita tahu bahawa pihak kerajaan, Peguam Negara telah menuduh mereka yang melakukan kesalahan kemalangan jalan raya yang mengakibatkan kematian dengan hukuman bunuh di bawah seksyen 302.
Yang ini satu perkara yang bagi saya mungkin kerajaan berhasrat untuk menjadikan kesalahan jalan raya ini satu kesalahan yang serius tetapi untuk mewajarkan tuduhan membunuh di bawah 302 bagi kesalahan kemalangan ini, bagi saya adalah satu perkara yang perlu kerajaan teliti dengan mendalam. Sebabnya kita tahu, apabila seseorang dituduh di bawah seksyen 302, ianya melibatkan tahanan reman. Dia tak boleh dikeluarkan sehinggalah tarikh perbicaraan ataupun dianya dilepaskan selepas tarikh bicara.
Jadi, bayangkan bagi seseorang yang membawa kereta terdedah dengan kemalangan, tiba-tiba dia berlaku kemalangan melibatkan empat, lima orang meninggal dan dia dibawa, dituduh di mahkamah di bawah seksyen 302. Tak boleh dilepaskan tanpa jaminan, sehinggalah tarikh bicara datang.
Jadi, bayangkan dalam keadaan sedemikian kita ni, hari ini mungkin tak berlaku kepada kita, berlaku kepada keluarga kita. Mereka yang bawa kereta, nama lagi kemalangan, melainkan kemalangan itu di-influence oleh alkohol dan sebagainya, tetapi kalau kecuaian, akan berlaku kecuaian.
Ataupun mungkin kadang-kadang seseorang yang berumur lebih 70-an, kadang-kadang lapse, dia tertidur dan sebagainya menyebabkan kemalangan yang boleh menyebabkan kematian yang ramai. Jadi, adakah mewajarkan kita menuduh mereka ini di bawah seksyen 302 Kanun Keseksaan?
Jadi, ini antara faktor yang saya nak bawa kepada hujah kupasan saya hari ini berkaitan dengan pindaan kepada Akta Pengangkutan Jalan ini.
Tuan Yang di-Pertua
Adakah peruntukan di bawah pindaan tu?
Dato’ Setia Salehuddin bin Saidin
Tidak ada, tetapi ini diberikan kuasa budi bicaranya kepada Peguam Negara.
Tuan Yang di-Pertua
Pada pendakwa raya. Mungkin fakta itu lebih lain.
Dato’ Setia Salehuddin bin Saidin
Untuk menuduh sebab dah ada dua, tiga kes yang dituduh di bawah seksyen 302 dan bila adanya pindaan Akta 333 ini, diharapkan bila ada hukuman yang lebih berat dikenakan, Peguam Negara tidak menggunakan peruntukan 302 bagi tuduhan membunuh dalam kes-kes yang melibatkan kemalangan jalan raya.
Yang kedua, isu berkaitan dengan isu lumba haram. Memang telah tiba masanya— dah lama sebenarnya kita tunggu satu peruntukan yang berkaitan dengan perlumbaan haram di atas jalan raya. Sebab sekarang ini, bila lumba haram ini, kita menuduh mereka atas kesalahan memandu dengan rakus, memandu dengan keadaan yang berbahaya.
Dan sekarang ini, kalau kita katakan bahawa isu lumba haram ini, adakah sebenarnya kita punya penguat kuasa polis dan JPJ memadai, mencukupi untuk mengawal insiden yang berlaku iaitu kes perlumbaan haram ini? Lumba haram ini kita tahu berlaku waktu Sabtu, hari Sabtu, hari hujung minggu, hari Ahad ataupun hari-hari cuti umum yang mana kebanyakan jalan raya di Lembah Klang ini especially memang berlaku banyak kes lumba haram. Dan untuk menangani isu lumba haram ini, anggota polis, anggota JPJ yang diperlukan bukannya seorang, dua. Dia memerlukan lebih daripada 10 orang untuk mengawal keadaan trafik di situ.
Jadi, bayangkanlah kalau di Lembah Klang ini berlaku kejadian lumba haram dalam jumlah yang banyak, iaitu di banyak tempat— mampukah anggota JPJ dan juga polis menempatkan pegawai-pegawai bagi mengatasi ataupun membanteras isu-isu berkaitan dengan lumba haram. Jadi, ini bukan sekadar ianya melibatkan kepada kompaun ataupun kesalahan, tetapi isu penguatkuasaan. Adakah pihak kerajaan, pihak anggota polis dan juga JPJ mampu melaksanakannya?
Dato’ Setia Salehuddin bin Saidin
Dan untuk lebih berkesan tindakan terhadap mereka yang terlibat dalam lumba haram ini, saya juga menyarankan segala kenderaan yang terlibat, sama ada kereta ataupun motosikal, yang di-modified― yang di-modified. Sebab, mereka nak berlumba ini, kadang-kadang mereka kena modified motor tersebut. Mereka kena modified kereta berkenaan— mengakibatkan, menyebabkan kemalangan yang lebih tinggi akan berlaku. Dan kita nak banteras. Bila kita banteras, kita sekat ataupun kita dah pada penghujung mereka melakukan lumba haram tersebut, kita tahan, kita sita. Mesti ada peruntukan yang menyita kenderaan ini.
Saya tak pasti sama ada Akta 333 yang sedia ada ini boleh menyita, tetapi kebanyakan kes yang saya lihat, dibawa mereka, seret ke balai polis dan kemudiannya mereka dikompaun, tetapi adakah pihak kerajaan, pihak kementerian memikirkan untuk kita sita saja motosikal- motosikal dan juga kenderaan ini supaya ianya tidak boleh lagi digunakan oleh sama ada pemunya atau kepada mereka yang meminjamkan kenderaan mereka untuk tujuan lumba haram tersebut.
Dan yang kedua, berkaitan― itu isu lumba haram. Ada satu lagi peruntukan berkaitan dengan speed trial, iaitu mereka yang nak tunjuk kehebatan motosikal mereka dan juga kereta mereka, sejauh mana mereka boleh pergi limit dia. Persoalannya, bagaimanakah ukuran yang kita nak menentukan sama ada seseorang itu melakukan kesalahan speed trial ataupun memandu melebihi daripada had kadar maksimum? Sebab, kita tahu speed trial, dia seorang pun boleh, dua pun boleh, tiga pun boleh, tapi mereka nak tengok bahawa kenderaan mereka mampu untuk sampai kepada satu tahap maksimum, speed dia.
Dalam masa yang sama, kita nak menghukum dia ini, sama ada dia ini buat speed trial ataupun dia ini memandu melebihi kadar maksimum. Sebab denda, hukumannya berbeza. Kalau denda, kalau dia memandu melebihi had laju, mungkin RM500 sekarang ini, maksimum kompaun, tetapi kalau di bawah undang-undang yang dipinda ataupun undang-undang baharu ini, di bawah speed trial punya provision, hukuman dia RM2,000 ke RM10,000 denda dia dan boleh dikenakan juga hukuman penjara dua tahun.
Jadi, disebabkan faktor ini, saya nak bertanya kepada pihak Timbalan Menteri, apakah mekanisme untuk kita membezakan antara mereka yang melakukan kesalahan speed trial dengan mereka yang memandu melebihi daripada had laju yang ditetapkan? Ini perlu diperjelaskan. Sebab, takut nanti kalau ada peruntukan yang tidak jelas begini, bila ada mereka yang dituduh di mahkamah, mereka akan membawa peguam yang menghujahkan, apakah mekanisme pihak autoriti menentukan seseorang itu melakukan kesalahan exceeding limit ataupun speed trial, dengan izin.
Yang keduanya, berkaitan dengan kesalahan tonto. Kesalahan tonto ini memang satu kesalahan yang juga telah lama kita tunggukan ada satu peruntukan yang spesifik. Sebab, tonto ini, kita tahu, ianya telah begitu banyak mengganggu kegiatan penguatkuasaan oleh pihak JPJ dan pihak polis.
Baru-baru ini, saya di bawah Jawatankuasa Integriti, kami turun ke Pahang, kami juga pun terlibat dalam operasi. Semasa kami nak buat terlibat dengan operasi dengan pihak JPJ, beratus dah, berpuluh dah lori-lori dah berada di tepi jalan. Menunjukkan bahawa dah tahu. Ada mereka yang melaporkan tentang kegiatan ataupun aktiviti penguatkuasaan oleh pihak JPJ.
Jadi, tidak ada peruntukan sekarang ini, tapi sekarang ini kita dah ada peruntukan, khususnya di bawah peruntukan seksyen baharu, seksyen 110B, ada tiga provision di situ yang mengatakan bahawa: satu, “Menghalang, mengganggu, menyerang, mengancam, memprovokasi anggota-anggota penguat kuasa.” Dan “(b) mengekori suatu kenderaan motor pegawai polis.” Ketiga, “menyebarkan maklumat”.
Yang lebih tepat, yang lebih biasa berlaku adalah menyebarkan maklumat. Sebab tonto ini, dia menggunakan walkie talkie ataupun menggunakan telefon sekarang ini, bagi memaklumkan kepada rakan-rakan mereka, lori-lori ini semua, bahawa di depan sana ada sekatan jalan raya.
Now...
Tuan Yang di-Pertua
Yang mana inside job.
Dato’ Setia Salehuddin bin Saidin
Yes?
Tuan Haji Musoddak bin Ahmad
Soalan.
Tuan Yang di-Pertua
Insider.
Dato’ Setia Salehuddin bin Saidin
Ya, insider. Of course.
Tuan Haji Musoddak bin Ahmad
Mohon pencelahan.
Dato’ Setia Salehuddin bin Saidin
Ya, sila. Boleh. Dato Speaker benarkan?
Tuan Haji Musoddak bin Ahmad
Kalau tonto, memanglah kita― itu salah lah, memberi maklumat kepada kawan-kawan lain supaya kenderaan-kenderaan itu tidak berjalan di jalan raya.
Cuma, sekarang ini, kadang-kadang kita sendiri juga jadi tonto. Kita ini pemandu. Bila nampak polis ada di depan, kita pun bagi lampu. Adakah itu tonto ataupun macam mana?...
[Ketawa]
Dato’ Setia Salehuddin bin Saidin
Kalau kita lihatkan kepada peruntukan di bawah 110B ini, kita boleh dituduh menyebarkan maklumat. Sebab, apa maksud di sini? Yang saya cuba nak jelaskan sini, saya nak minta pihak kementerian ataupun bahagian undang-undang perjelaskan sedikit lagi 110B ini. Keadaan bagaimana yang dikatakan menyebarkan maklumat?
Keadaan yang macam mana yang dikatakan mengganggu dan menghalang?
Sebab, kalau kita tidak ada peruntukan yang jelas, bermakna dikhuatiri nanti bila ada tuduhan di mahkamah, mereka ini dok challenge dekat mahkamah. Sebab― kenapa mereka challenge? Sebab dia melibatkan satu kumpulan yang besar, sindiket yang besar. Mereka mampu untuk membiayai, menawarkan atau memberikan fi yang mahal kepada pihak peguam.
Cari peguam yang hebat, cari loophole di dalam peruntukan ini untuk mewajarkan mereka lepas.
Jadi, untuk itu, sebelum mereka sempat interpret undang-undang in their favor, dengan izin, saya nak mencadangkan supaya diletakkan ilustrasi di dalam peruntukan ini sepertimana dalam Kanun Keseksaan. Dia ada illustration dia. Nak tunjukkan bahawa— okey, contoh dia begini, begini, maka itu adalah satu kesalahan.
Contohnya, bagi maklumat melalui walkie talkie ataupun melalui Waze dan sebagainya, itu adalah merupakan satu kesalahan yang boleh dikatakan sebagai sama ada dia principal offender ataupun dia sebagai pensubahat. Bersubahat memberikan maklumat kepada mereka yang melaksanakan ataupun melakukan kesalahan yang besar.
Saya kena rushing ini sebab masa tak cukup.
Tuan Yang di-Pertua
[Berucap tanpa menggunakan pembesar suara]
Dato’ Setia Salehuddin bin Saidin
Masa dah habis. Tadi dia mencelah tadi, bagi izin sikit? Tambah sikitlah.
Tuan Yang di-Pertua
Bolehlah.
Dato’ Setia Salehuddin bin Saidin
Boleh ya? Terima kasih Yang Berhormat Dato Speaker.
Jadi, yang saya nak jelaskan tadi, kalau bolehlah 110B itu, satu peruntukan yang bagus, tetapi diperkemaskinikan, diberikan tafsiran yang lebih tepat supaya tidak akan berlaku isu-isu yang boleh mereka cabar peruntukan yang dah ada ini.
Seterusnya, berkaitan dengan penggunaan telefon semasa memandu. Now, apa yang berlaku? Baru-baru ini, saya ke China. Di China ini, kalau kita bawa kereta ataupun kita duduk di dalam kereta di bahagian belakang sekali pun, bila kita tak pakai tali pinggang― di sana, tali pinggang penumpang belakang pun wajib. Mereka boleh kesan. Tak ada polis dekat depan pun.
Tak tahu mana-mana, tiba-tiba depan itu kena tahan. Dia kata dekat belakang pun tak pakai tali pinggang keledar. Jadi, bayangkan, telefon pun begitu juga.
Jadi, kita punya teknologi AI ini, saya tak pasti sama ada kita mampu sampai kepada tahap tersebut. Punca kemalangan di Malaysia ini banyak berlaku apabila kita gunakan telefon semasa memandu. Ini saya sendiri dah ada pengalaman. Kadang-kadang saya juga pakai telefon, mengakibatkan nyaris-nyaris nak langgar. Bila dah kena itu, saya tak buat lagilah...
Tuan Yang di-Pertua
Itu. The call passion is not admissible, you know.
Dato’ Setia Salehuddin bin Saidin
Sorry?
Tuan Yang di-Pertua
[Ketawa]
Dato’ Setia Salehuddin bin Saidin
Jadi, isu dia...
Tuan Yang di-Pertua
Pengakuan itu tidak diterima.
Dato’ Setia Salehuddin bin Saidin
Benar Dato, tapi apa yang menjadi persoalan dia sekarang ini, sebabnya bila kita bercakap telefon, tidak ada penguatkuasaan. Kita nak kena tunggu polis ada tepi, baru kita boleh kesan. Jadi, nak letakkan setiap jalan, setiap kilometer polis ini, payah lah.
Jadi, itu yang saya katakan teknologi AI, sama ada boleh digunakan dan boleh kita invest sedikit untuk memastikan mereka yang menggunakan telefon semasa memandu ini dapat diambil tindakan dengan segera...
Tuan Yang di-Pertua
YB macam mana di China, dia boleh buat itu?
Dato’ Setia Salehuddin bin Saidin
Itu yang saya pun tak tahu macam mana mereka buat, tetapi mereka dah...
Tuan Yang di-Pertua
Mohon mereka pergi ke China.
Dato’ Setia Salehuddin bin Saidin
Mereka kena kaji bagaimana teknologi di China itu boleh mampu untuk mengenakan tindakan terhadap mereka yang ingkar kepada undang- undang, walaupun di dalam kereta.
Dan akhir sekali, dengan izin Dato...
Tuan Yang di-Pertua
Habiskan ya.
Dato’ Setia Salehuddin bin Saidin
Ya?
Tuan Yang di-Pertua
Akhir sekali.
Dato’ Setia Salehuddin bin Saidin
Akhir sekali.
Tuan Yang di-Pertua
Mengaku buat kesalahan ya.
Dato’ Setia Salehuddin bin Saidin
Ya. Dan satu lagi adalah berkaitan dengan kawalan kenderaan— maafkan saya. Keselamatan penunggang motosikal. Now, kita tahu kebanyakannya kes di Malaysia ini, 60 peratus kematian adalah di kalangan penunggang motosikal. Kenapa?
Sebab, motosikal ini memang dia punya risk-nya begitu tinggi.
Persoalan dia, kebanyakan kemalangan motosikal ini kerana di kalangan Grab rider.
Mereka ini nak kejar— nak kejar jumlah transaksi yang mereka boleh hantar, satu.
Yang kedua, kalau kita lihat di kawasan pedalaman, kita tengok sendirilah di Selangor itu, di Jalan Klang, di jalan-jalan dalam kawasan pedalaman, kadang-kadang jalannya berlubang, especially selepas hujan lebat.
Dato’ Setia Salehuddin bin Saidin
Bila jalan berlubang, dia bukan sahaja membahayakan kenderaan kereta, tetapi membahaya juga penunggang motosikal. Motosikal ini bila dia bawa laju, dia cilok sana sini, masuk dalam lubang, confirm dia akan jatuh. Dan kalau baru-baru ini kita lihat macam mana video diambil, bagaimana kenderaan motosikal ini berlanggar dengan sebuah kereta, terguling, kereta pun terbalik. Menunjukkan lajunya motosikal tersebut beat the traffic light. Ini semua menggambarkan bahawa kerajaan perlu memikirkan bagaimana kita nak mengatasi masalah kemalangan di kalangan penunggang-penunggang motosikal ini. Salah satunya, jalan raya perlu kita titikberatkan supaya jalan raya ini diturap dan tidak ada lubang- lubang yang boleh membahayakan penunggang-penunggang motosikal.
Dan mungkin yang kedua, saya ingin sarankan juga supaya pihak kerajaan mengambil berat untuk mendidik mereka yang menggunakan jalan raya ini, menggunakan kenderaan ini, buat didikan. Panggil mereka after first certain years untuk kursus semula. Ajar mereka bagaimana cara menunggang berhemah supaya kita dapat kurangkan jumlah kemalangan.
Jumlah kemalangan jalan raya di Malaysia ini begitu tinggi dan saya percaya kalau kerajaan tak dapat mengatasi masalah ini, kita akan rugi anak-anak muda kita. Dari segi ekonomi pun akan rugi ratusan juta disebabkan oleh kemalangan.
Oleh itu, saya mohon— saya sokong rang undang ini tetapi sedikit pertimbangan, boleh dilihat semula atas cadangan-cadangan yang telah saya ajukan. Terima kasih Dato Speaker atas masa yang diberikan.
Tuan Yang di-Pertua
Yang Berhormat Senator Dr. Lingesh.
Dr. Lingeshwaran a/l Dato' Seri R. Arunasalam
Terima kasih Dato Yang di-Pertua.
Sepuluh minit cukup Dato Yang di-Pertua.
Dato Yang di-Pertua, saya bangkit hari ini untuk menzahirkan sokongan tidak berbelah bahagi saya kepada usaha Kementerian Pengangkutan dalam meminda RUU Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2026 di bawah kepimpinan Yang Berhormat Anthony Loke yang komited memperkukuhkan keselamatan jalan raya kita.
Sebagai seorang bekas pengamal perubatan dan bekas pengarah hospital, saya telah melihat dengan mata sendiri, betapa banyak nyawa anak muda, aset berharga negara, melayang di atas tar sejuk jalan raya akibat lumba haram. Tragedi di Simpang Renggam yang meragut lima nyawa Jun lalu membuktikan bahawa langkah memperkenalkan seksyen 42A baharu bagi mengkategorikan lumba haram sebagai kesalahan khusus adalah satu tindakan yang tepat, yang sudah lama dinanti-nantikan. Syabas saya ucapkan, Yang Berhormat.
Namun Dato Yang di-Pertua, sebagai Dewan semak dan imbang, kita perlu memastikan bahawa dalam ghairah kita memburu pesalah jalan raya, kita tidak boleh overreach atau melangkaui batas sehingga menghukum rakyat marhaen yang tidak bersalah.
Dato Yang di-Pertua, saya ingin menarik perhatian Dewan yang mulia ini kepada fasal 28 yang meminda seksyen 108 akta ibu. Pindaan ini menaikkan penalti bagi kesalahan membuat pernyataan palsu atau memalsukan dokumen pengangkutan jalan secara drastik. Dari hukuman asal penjara maksimum satu tahun di bawah fasal 28A atau lima tahun di bawah fasal 28B, kini dinaikkan sehingga 10 tahun penjara. Manakala, denda dinaikkan daripada RM5,000 kepada RM10,000 dan maksimum RM200,000.
Dato Yang di-Pertua, kita benci pemalsuan dokumen, kita benci sindiket lesen terbang atau plat palsu, tetapi menaikkan hukuman penjara sehingga 10 tahun bagi kesalahan pernyataan palsu (false statement) dalam urusan pentadbiran kenderaan adalah satu tindakan yang tidak seimbang. Bayangkan jika seorang kerani atau pesara tersilap mengisi maklumat pengisytiharan atau terjebak dengan penipuan dokumen oleh pihak ketiga tanpa niat jahat, mereka berdepan dengan hukuman penjara 10 tahun.
Hukuman 10 tahun ini menyamai hukuman jenayah berat seperti rompakan berkumpulan di bawah seksyen 395 Kanun Keseksaan. Mengapa kesalahan pengisytiharan dokumen pengangkutan disetarakan dengan jenayah keganasan fizikal? Bolehkah kementerian memperincikan tafsiran ini agar ketidaksengajaan atau kesilapan perkeranian tidak menghancurkan masa depan rakyat marhaen dengan hukuman penjara sedahsyat ini?
Dato Yang di-Pertua, seterusnya mari kita lihat— memperhalusi fasal 30 yang memperkenalkan seksyen 110B(1)(c). Fasal ini menyatakan orang-orang yang menyebarkan maklumat mengenai apa-apa aktiviti polis atau Pegawai Pengangkutan Jalan boleh didenda sehingga RM50,000 atau dipenjarakan lima tahun. Dato Yang di-Pertua, ini adalah satu overreach yang sangat membimbangkan. Adakah rakyat marhaen yang menandakan lokasi sekatan jalan raya (roadblock) di aplikasi Waze ataupun Google Maps selepas ini akan disumbat ke dalam penjara?
Tuan Yang di-Pertua
[Ketawa]
Dr. Lingeshwaran a/l Dato' Seri R. Arunasalam
Ini— adakah citizen journalism atau orang awam yang merakamkan salah guna kuasa atau aktiviti rasuah oleh pegawai penguat kuasa menggunakan dashcam, lalu menularkannya untuk menuntut keadilan kini dianggap sebagai jenayah berat? Janganlah disebabkan oleh kita menangkap beberapa kerat pesalah, kita jadikan jutaan penggunaan aplikasi navigator Waze ataupun pemilik dashcam di Malaysia sebagai bakal banduan. Hukuman penjara sehingga lima itu dah terlalu drastik dan malah lebih berat daripada seksyen 186 Kanun Keseksaan bagi kesalahan menghalang penjawat awam.
Saya mohon penjelasan kementerian bahawa...
Tuan Yang di-Pertua
Doktor, you— doktor, ini mengenai apa ini? Penyebaran maklumat?
Dr. Lingeshwaran a/l Dato' Seri R. Arunasalam
Di mana pengguna jalan raya menyatakan di Waze...
Tuan Yang di-Pertua
No, dalam konteks apa?
Dr. Lingeshwaran a/l Dato' Seri R. Arunasalam
...Atau Google Maps menyatakan bahawa ada blok.
Tuan Yang di-Pertua
Tonto?
Dr. Lingeshwaran a/l Dato' Seri R. Arunasalam
Biasanya kita download Waze.
Tuan Yang di-Pertua
Pasal tonto tadi?
Dr. Lingeshwaran a/l Dato' Seri R. Arunasalam
Apa dia, Dato Yang di-Pertua?
Tuan Yang di-Pertua
Tadi Dato’ Setia cakap pasal penyebaran maklumat.
Dr. Lingeshwaran a/l Dato' Seri R. Arunasalam
Iya betul.
Tuan Yang di-Pertua
Tadi Waze ada cakap roadblock, kan?
Dr. Lingeshwaran a/l Dato' Seri R. Arunasalam
Ya, betul.
Tuan Yang di-Pertua
Itu trafik jam.
Dr. Lingeshwaran a/l Dato' Seri R. Arunasalam
So, saya nak klasifikasi daripada Yang Berhormat Menteri, adakah kalau dalam Waze ataupun Google Maps, kita akan menyatakan ada blok atau roadblock, adakah ini satu kesalahan yang boleh didenda?
Tuan Yang di-Pertua
You tak sebar kepada siapa-siapa, itu untuk maklumat sendiri.
Dr. Lingeshwaran a/l Dato' Seri R. Arunasalam
Ya, itu untuk maklumat kita. Tapi adakah mereka akan menganggap itu adalah satu sebaran? Itu saya nak satu kepastian daripada Yang Berhormat Menteri berkenaan isu ini.
Dato Yang di-Pertua, dalam fasal 31 dan 40, pihak berkuasa boleh menyita atau melupuskan kenderaan mikromobiliti seperti basikal elektrik dalam tempoh satu bulan jika tidak dituntut. Kenderaan mikromobiliti adalah nadi mobiliti golongan B40 ataupun pekerja gig, penghantar makanan. Mereka bukannya orang kaya. Kalau kenderaan mereka disita, sebulan adalah tempoh yang terlalu pendek untuk mereka kumpul duit untuk bayar denda ini. Bolehkah Kementerian Pengangkutan mempertimbangkan untuk melanjutkan tempoh ini?
Dato Yang di-Pertua, akhir sekali saya ingin mengambil kesempatan untuk menyentuh tentang nasib mangsa selepas kemalangan. Saya masih mengingati satu kes kemalangan berlaku di Sungai Bakap melibatkan dua beradik. Disebabkan oleh kelalaian pemandu lori, motosikal yang dibawa oleh nenek mereka telah dilanggar dan diheret sehingga menyebabkan seorang kanak-kanak perempuan mengalami kecederaan serius sehingga kehilangan anggota badan.
Adik beliau pula mengalami kecederaan di anggota atas (tangan) dan melalui proses pemulihan yang panjang sehingga perlu belajar menggunakan tangan yang lain untuk menulis semula. Bagi keluarga ini, perjuangan tidak berakhir apabila mereka keluar daripada hospital, mereka perlu berhadapan dengan cabaran fizikal, emosi, pendidikan dan juga kewangan.
Dengan bantuan masyarakat serta sokongan pelbagai pihak, termasuk saya sendiri dan juga Kerajaan Negeri Pulau Pinang, keluarga tersebut akhirnya mendapat pelbagai bantuan, termasuk bantuan perumahan, tapi persoalannya adalah lebih besar daripada ini, adakah semua mangsa di seluruh negara mempunyai akses kepada bantuan yang sama?
Saya ingin bertanya kepada kerajaan. Adakah kerajaan bercadang untuk mewujudkan satu sistem sokongan nasional kepada mangsa kemalangan serius, khususnya kanak-kanak yang mengalami kehilangan anggota badan, termasuk akses kepada rehab, prosthetics, fisio dan sokongan psikososial? Mangsa kemalangan bukan hanya memerlukan rawatan untuk sembuh, mereka memerlukan peluang untuk membina semula kehidupan.
Dr. Lingeshwaran a/l Dato' Seri R. Arunasalam
Dato Yang di-Pertua, saya mengulangi sokongan saya terhadap hasrat murni RUU ini demi memelihara keselamatan jalan raya negara. Saya berharap, kementerian bersikap terbuka untuk menerima pindaan-pindaan kecil demi kebaikan rakyat secara keseluruhan. Saya menyokong, Dato Yang di-Pertua.
Tuan Yang di-Pertua
[Berucap tanpa menggunakan pembesar suara]
Dr. Hajah Wan Martina binti Wan Yusoff
Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih Dato Yang di-Pertua kerana memberi ruang kepada saya untuk turut serta dalam perbahasan Rang Undang-undang Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2026 ini.
Secara dasarnya, saya menyokong hasrat kerajaan untuk memperkukuh rangka kerja pengawalseliaan dan penguatkuasaan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987, terutamanya dalam menangani cabaran semasa seperti kenderaan mikromobiliti, keperluan pendaftaran kenderaan motor elektrik serta modenisasi sistem penyampaian notis secara elektronik.
Namun begitu, saya ingin membangkitkan beberapa persoalan dan cadangan penambahbaikan untuk pertimbangan kementerian sebelum RUU ini diluluskan.
Pertamanya, konsep kawasan yang diisytiharkan di bawah seksyen 16. Fasal 6 RUU ini memperkenalkan konsep baharu iaitu kawasan diisytiharkan yang mewajibkan mempunyai pemilik lesen kenderaan motor memaklumkan pengarah berkenaan kawasan penggunaan kenderaan dan membayar apa-apa perbezaan fi, jika kenderaan digunakan di luar kawasan yang didaftarkan.
Persoalan saya adalah, apakah kriteria pengisytiharan sesuatu kawasan pendataran sebagai kawasan diisytiharkan? Adakah ia berdasarkan struktur fi cukai jalan sedia ada mengikut negeri atau kriteria baharu?
Yang kedua, bagaimanakah peruntukan ini memberi kesan kepada rakyat yang bekerja merentasi sempadan negeri, contohnya penduduk Selangor yang bekerja di Kuala Lumpur atau di kawasan luar bandar yang kerap merentasi sempadan untuk urusan harian?
Yang ketiga, denda di bawah subseksyen (1E), tidak kurang RM1,000 sehingga RM2,000 atau penjara sehingga enam bulan adalah agak berat bagi kesalah teknikal berbentuk pemberitahuan. Adakah kementerian bercadang mengadakan tempoh pematuhan sebelum penguatkuasaan penuh khususnya bagi golongan B40 dan M50 yang mungkin tidak menyedari kewajipan baharu ini?
Yang kedua, penyampaian notis secara elektronik, seksyen 118. Saya menyambut baik usaha mendigitalkan penyampaian notis melalui mesej elektronik dan sistem memproses maklumat ini selaras dengan hasrat kerajaan digital. Namun, subseksyen (5) baharu memperuntukkan bahawa notis disifatkan telah disampaikan sebaik sahaja mesej itu memasuki sistem yang didaftarkan kepada seseorang tanpa mengambil kira sama ada notis itu benar-benar dibaca atau diterima.
Bagaimana jika berlaku kegagalan teknikal dan capaian Internet terhad di kawasan luar bandar atau sistem yang didaftarkan sudah tidak aktif? Adakah terdapat mekanisme rayuan bagi mereka yang boleh membuktikan notis tidak sampai disebabkan faktor di luar kawalan mereka?
Saya mencadangkan supaya kaedah-kaedah pelaksanaan memasukkan syarat pengesahan penerimaan bukan sekadar penghantaran untuk mengelakkan ketidakadilan prosedur, khususnya berkaitan kesalahan yang membawa kepada saman atau tindakan mahkamah.
Ketiga, seksyen baharu 110B, kesalahan menyebarkan maklumat. Ini peruntukan yang paling saya ingin tumpukan perhatian Dewan yang mulia ini. Seksyen 11B(1)(c) mewujudkan kesalahan bagi sesiapa yang menyebarkan maklumat mengenai apa-apa aktiviti pegawai polis atau pegawai pengangkutan jalan dalam melaksanakan apa-apa kewajipan, dengan denda tidak kurang RM10,000 hingga RM50,000, atau penjara sehingga lima tahun dan ia turut diklasifikasikan sebagai kesalahan boleh tangkap.
Skop perkataan menyebarkan maklumat adalah amat luas dan tidak ditakrifkan dengan jelas dalam RUU ini. Oleh itu, saya ingin pohon penjelasan, adakah peruntukan ini turut meliputi orang awam yang merakam dan berkongsi video sekatan jalan raya, seperti yang dimaklumkan oleh Yang Berhormat sebelum ini di media sosial, wartawan yang melaporkan operasi JPJ atau polis trafik atau NGO yang memantau isu integriti penguatkuasaan?
Bagaimanakah peruntukan ini dibezakan daripada halangan fizikal terhadap tugas pegawai yang jelas wajar disekat, berbanding penyebaran maklumat semata-mata yang menyentuh kebebasan bersuara dan akauntabiliti awam?
Saya mencadangkan pindaan untuk mengehadkan skop kesalahan ini kepada penyebaran maklumat yang secara khusus, bertujuan menjejaskan operasi penguatkuasaan yang sedang berjalan. Contohnya, memberi amaran kepada suspek untuk mengelak sekatan jalan dan bukannya liputan ataupun rakaman am aktiviti pegawai di ruang awam.
Keempat, anggapan pra-perundangan berhubung kamera, seksyen 53B(2A). Fasal 17 memperkenalkan pengecualian kepada anggapan sedia ada di bawah seksyen 53B(2), sekali gus meletakkan beban pembuktian yang lebih berat ke atas pemilik berdaftar apabila kesalahan dirakam kamera.
Walaupun saya faham hasrat untuk memperkukuhkan penguatkuasaan berasaskan teknologi, saya ingin mendapat kepastian kementerian mengenai piawaian pengesahan kualiti dan ketepatan rakaman kamera tersebut, memandangkan ia kini menjadi asas utama tuduhan tanpa anggapan pembelaan yang sama seperti sebelum ini.
Yang kelima, kenaikan kadar denda secara meluas. Dato Yang di-Pertua, saya berpandangan bahawa pindaan ini memberi penekanan yang terlalu besar kepada aspek penguatkuasaan dan peningkatan hukuman, sedangkan faktor utama yang menyumbang kepada keselamatan jalan raya ialah gabungan pendidikan, kejuruteraan jalan, teknologi kenderaan, penguatkuasaan yang pintar serta perubahan tingkah laku pengguna jalan raya.
Hampir keseluruhan pindaan ini menaikkan kadar denda, tempoh pemenjaraan dan memperluaskan kuasa penguatkuasaan. Persoalannya, adakah kerajaan mempunyai bukti empirikal bahawa kenaikan hukuman semata-mata akan mengurangkan kadar kemalangan jalan raya?
RUU ini menaikkan kadar denda minimum bagi hampir 20 kesalahan berbeza, daripada RM300 kepada RM500 secara seragam, serta kenaikan mendadak bagi kesalahan berat seperti seksyen 108, penyataan palsu dan seksyen 32, kehilangan kelayakan lesen.
Oleh itu, saya ingin bertanya, adakah kenaikan ini berdasarkan kajian kos sara hidup atau kajian impak terhadap golongan berpendapatan rendah yang turut menjadi pengguna jalan raya utama?
Bagi kesalahan di bawah seksyen 108, kenaikan daripada penjara maksimum satu tahun kepada 10 tahun adalah amat besar. Wajarkah kenaikan sedemikian tanpa pengkelasan tahap keseriusan kesalahan. Contohnya niat jenayah, berbanding kesilapan pentadbiran?
Pada hemat saya, kejayaan sesuatu undang-undang tidak boleh diukur melalui jumlah saman yang dikeluarkan atau kadar denda yang dikenakan. Sebaliknya, kejayaan sebenar ialah apabila kadar kematian jalan raya menurun, kecederaan serius berjaya dikurangkan, pengguna jalan raya lebih berdisiplin dan rakyat berasa selamat menggunakan jalan raya.
Dato Yang di-Pertua, saya menyokong hasrat RUU ini untuk memodenkan penguatkuasaan pengangkutan jalan, khususnya berkaitan kenderaan elektrik, mikromobiliti dan sistem digital.
Namun, saya memohon kementerian mempertimbangkan semula skop seksyen 110B agar tidak menyentuh kebebasan media dan akauntabiliti awam serta memastikan mekanisme perlindungan prosedur bagi golongan terjejas oleh peruntukan kawasan diisytiharkan dan notis elektronik.
Dengan penambahbaikan ini, saya percaya RUU ini akan lebih seimbang antara keperluan penguatkuasaan yang berkesan dengan hak asasi rakyat. Dengan itu, sekian terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua
Ahli-ahli Yang Berhormat, kita tempohkan Mesyuarat kita untuk lunch break dan akan bersambung semula pada jam 2.30 petang ini— 2.30 petang ini.
[Mesyuarat ditempohkan pada pukul 1.10 tengah hari]
[Mesyuarat disambung semula pada pukul 2.30 petang]
Tuan Yang di-Pertua
[Datuk Dr. Haji Mustafa bin Musa **mempengerusikan Mesyuarat****]
Datuk Dr. Haji Mustafa bin Musa
Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera dan selamat petang.
Kita teruskan perbahasan pada petang ini dengan mempersilakan Yang Berhormat Senator Dato’ Prof. Emeritus Dr. Mohammad Redzuan bin Othman. Dipersilakan.
Dato' Prof. Emeritus Dr. Mohammad Redzuan bin Othman
*Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,* salam sejahtera, salam Malaysia MADANI. Nak panggil Datuk ini apa ya? “Pemangku” kah, “pengganti” kah ataupun...
Beberapa Ahli
“Speaker.”
Datuk Dr. Haji Mustafa bin Musa
Speaker.
Dato' Prof. Emeritus Dr. Mohammad Redzuan bin Othman
Tuan Speaker dahulu ya.
Datuk Dr. Haji Mustafa bin Musa
Boleh, apa-apa pun boleh [Ketawa]
Dato' Prof. Emeritus Dr. Mohammad Redzuan bin Othman
Masih lagi panggil Yang di-Pertua Dewan. Saya ingat kali pertama ya, Datuk ya.
Datuk Dr. Haji Mustafa bin Musa
Kali pertama, betul.
Dato' Prof. Emeritus Dr. Mohammad Redzuan bin Othman
Tahniah diucapkan. Saya bangun pada hari ini untuk mengambil bahagian dalam perbahasan Rang Undang-undang Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2026, Akta 333.
Saya mulai dengan merakamkan penghargaan kepada Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan seluruh pegawai kementerian serta Jabatan Pengangkutan Jalan yang telah berusaha menyediakan pindaan ini sebagai satu langkah penting untuk memperkukuh sistem pengangkutan jalan negara kita yang semakin berhadapan dengan cabaran baharu abad ke-21.
Tuan Yang di-Pertua, saya melihat rang undang-undang ini bukan sekadar suatu himpunan pindaan terhadap seksyen-seksyen tertentu dalam Akta Pengangkutan Jalan 1987, sebaliknya pada hemat saya merupakan manifestasi kepada negara untuk memasuki satu era baharu dalam pengurusan mobiliti, keselamatan jalan raya dan tadbir urus pengangkutan.
Hari ini kita tidak hidup dalam dunia yang sama seperti ketika akta ini mula diperkenalkan iaitu hampir empat dekad yang lalu. Hari ini kita berhadapan dengan kenderaan elektrik. Hari ini kita berhadapan dengan mikrobiliti. Hari ini kita juga berhadapan dengan pendigitalan lesen penggunaan kecerdasan buatan (artificial intelligence) [Tidak jelas] pintar, analitik data raya (big data analytics), transaksi tanpa tunai seperti integrasi sistem pengangkutan yang semakin kompleks.
Semua perubahan memerlukan undang-undang yang lebih responsif dan bersifat masa hadapan. So, itu saya menyokong penuh hasrat kerajaan membawa pindaan ini. Walaupun demikian, izinkan saya membawa Dewan yang mulia ini melihat isu ini daripada perspektif yang lebih luas.
Datuk Yang di-Pertua, setiap kali apabila kita bicara mengenai Akta Pengangkutan Jalan, kita melihatnya semata-mata daripada sudut trafik. Kita bercakap tentang saman, kita bercakap tentang lesen, kita bercakap tentang JPJ, kita bercakap tentang PDRM, tetapi pada hemat saya perkataan sedemikian amat terbatas sifatnya. Pada hari ini, keselamatan jalan raya sebenarnya telah menjadi isu nasional yang merentasi pelbagai dimensi ialah isu ekonomi, ialah isu kesihatan awam, ialah isu produktiviti negara, ialah isu psikologi masyarakat, ialah isu kesejahteraan keluarga secara keseluruhannya.
Yang penting, kesemuanya ini adalah isu yang berkaitan dengan kemanusiaan. Setiap kali berlaku kemalangan maut, negara bukan sahaja kehilangan seorang pengguna jalan raya, tetapi negara kehilangan warganegaranya. Seorang ibu, seorang ayah atau kedua-duanya.
Seorang anak mungkin seorang doktor, jurutera, guru atau sebagainya yang juga merupakan kemungkinan pada masa akan datang menjadi pemimpin negara.
Dalam bahasa ekonomi, kita kehilangan modal insan yang boleh membangunkan negara.
Dalam bahasa sosial, kita berhadapan dengan kepincangan institusi keluarga. Dalam bahasa agama, kita kehilangan nyawa yang sangat dimuliakan oleh Allah SWT.
Datuk Yang di-Pertua, saya melihat sebahagian peruntukan pindaan dalam rang undang- undang ini memberi penekanan kepada aspek penguatkuasaan. Ini termasuklah peningkatan kadar penalti, perwujudan kesalahan baharu seperti perlumbaan haram dan dugaan kelajuan, kuasa penguatkuasaan yang lebih jelas serta penggunaan teknologi digital dalam pentadbiran lesen dan pencapaian notis.
Semua ini adalah satu langkah yang amat baik. Saya menyokong sepenuhnya usaha ini.
Namun begitu saya ingin mengemukakan satu persoalan yang lebih mendasar. Adakah masyarakat yang lebih berdisiplin hanya kerana hukuman menjadi lebih berat? Sejarah dunia menunjukkan bahawa jawapannya, tidak semestinya begitu. Jika hukuman sahaja mampu mengubah manusia, maka semua negara yang mempunyai hukuman yang paling berat sepatutnya menjadi negara yang paling selamat. Hakikatnya tidak sedemikian.
Apa yang membezakan negara yang benar-benar berjaya dalam keselamatan jalan raya ialah mereka berjaya membentuk budaya. Undang-undang mungkin boleh mengawal tingkah laku seseorang ketika dia melihat anggota penguat kuasa, tetapi budaya akan mengawal tingkah lakunya walaupun tiada siapa yang memerhatikan.
Di sini saya melihat cabaran sebenar Malaysia. Kita bukan sekadar meningkatkan jumlah saman, kita ialah membina masyarakat yang mempunyai kesedaran moral yang mematuhi undang-undang kerana mereka menghargai nyawa bukan kerana takut dikenakan tindakan.
Apabila kita meneliti negara-negara maju di Eropah seperti Sweden, Jepun, Belanda dan negara-negara lain, kita dapati mereka tidak bergantung kepada hukuman semata-mata, sebaliknya membina budaya. Budaya memberi laluan. Budaya menghormati pejalan kaki.
Budaya mematuhi had laju walaupun tiada kamera, CCTV ataupun litar tertutup.
Budaya tidak menggunakan telefon ketika memandu walaupun tiada polis yang memerhati. Budaya mengutamakan keselamatan orang lain melebihi kepentingan diri sendiri.
Budaya seperti ini tidak lahir melalui saman, ia lahir melalui pendidikan, ia lahir melalui keluarga, ia lahir melalui sekolah. Akhirnya ia menjadi normal sosial yang dipatuhi secara sukarela dan penuh tanggungjawab.
Saya percaya inilah matlamat yang sepatutnya kita capai. Kita tidak mahu melahirkan rakyat yang patuh apabila melihat kenderaan JPJ atau PDRM ataupun anggota yang melakukan pemantauan. Kita mahu melahirkan rakyat yang mematuhi undang-undang kerana mereka percaya setiap nyawa adalah amanah yang mesti dipelihara. Rang undang-undang ini banyak dibahaskan berkaitan menaikkan kadar penalti dan hukuman, sebagaimana telah diberikan contoh menaikkan jumlah saman daripada RM300 kepada RM500 dan sebagainya.
Saya menyokong ketegasan ini kerana undang-undang mestilah mempunyai usaha pencegahan. Namun demikian, izinkan saya mengemukakan satu prinsip. Dalam sebuah negara yang matang, hukuman yang berat bukan lambang kekuatan undang-undang. Sebaliknya kepastian bahawa hukum akan dilaksanakan secara adil, konsisten itulah yang lebih penting.
Dalam bidang kriminologi, banyak kajian menunjukkan bahawa seseorang yang lebih takut kepada kepastian ditangkap berbanding beratnya hukuman.
Dato' Prof. Emeritus Dr. Mohammad Redzuan bin Othman
Justeru, saya berharap kerajaan bukan sahaja meningkatkan kadar penalti, tetapi juga meningkatkan kecekapan penguatkuasaan, mengurangkan ruang rundingan yang tidak sepatutnya, memastikan integriti anggota penguat kuasa serta menggunakan teknologi bagi mengurangkan unsur budi bicara yang boleh menimbulkan persepsi ketidakadilan.
Banyak perkara berkaitan dengan akta ini yang boleh dibahaskan. Saya ambil cuma satu sahaja Datuk Yang di-Pertua iaitu berkaitan dengan perlumbaan haram. Saya ingin menyentuh mengenai satu pindaan yang saya anggap amat signifikan dalam rang undang-undang ini iaitu pewujudan seksyen baru berkaitan perlumbaan dan dugaan kelajuan di jalan raya sebagai suatu kesalahan yang jelas di bawah undang-undang.
Saya menyokong sepenuhnya pindaan ini. Tiada kompromi terhadap perlumbaan haram kerana perlumbaan haram bukan sekadar membahayakan peserta, ia meletakkan pengguna jalan raya yang tidak berdosa sebagai mangsa. Namun begitu Datuk Yang di-Pertua, izinkan saya membawa Dewan kepada sudut yang lebih mendalam.
Sudah hampir tiga dekad kita memerangi gejala mat rempit. Kita meningkatkan operasi, kita meningkatkan hukuman, kita meningkatkan jumlah tangkapan, tetapi kerana apa fenomena ini masih berulang? Persoalan yang perlu kita jawab bukan sekadar bagaimana menghukum mereka, persoalan yang mesti dijawab lebih penting, mengapa mereka memilih jalan itu?
Saya percaya sebahagian besar mereka bukan dilahirkan sebagai penjenayah. Mereka lah anak-anak muda yang sedang mencari identiti, mereka mencari pengiktirafan, mereka mencari cabaran dan sebagainya. Malah ruang ini mereka temui di jalan raya.
Oleh sebab itu, saya ingin mencadangkan supaya kerajaan melihat isu mat rempit perlu pendekatan yang lebih menyeluruh. Penguatkuasaan mestilah diteruskan, tetapi pada masa yang sama, Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian TVET, industri automotif, persatuan dan sebagainya perlu memainkan peranan dengan membangunkan lebih banyak litar latihan, program sukan permotoran, latihan mekanikal, pembangunan bakat kejuruteraan automotif, keusahawanan dan sebagainya. Mungkin daripada kelompok yang hari ini kita panggil mat rempit, satu hari nanti akan lahir jurutera Formula1, pakar EV, jurutera motosikal bertaraf dunia dan juga usahawan automotif yang berjaya.
Izinkan sedikit Datuk Yang di-Pertua untuk menyebut perkara yang berlaku baru-baru ini.
Mereka bukan merupakan mat rempit, mereka bukan berlumba di jalan raya tetapi mereka berkonvoi motosikal. Saya kira tidak ada peruntukan berkaitan perkara ini. Mungkin satu perkara yang ekstrem untuk menghalang mereka berkonvoi, tetapi peristiwa yang berlaku di LPT2 baru- baru ini yang mengorbankan empat nyawa merupakan suatu yang perlu diberi perhatian. Mungkin perlu penguatkuasaan yang lebih baik dengan peraturan-peraturannya supaya perkara ini tidak berulang pada masa yang akan datang.
Akhirnya Tuan Yang di-Pertua, sekali lagi saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada Kementerian Pengangkutan yang telah memperkenalkan satu rang undang-undang yang saya kira akan memberikan kebaikan kepada rakyat Malaysia secara keseluruhannya. Dengan itu, saya menyokong Datuk Yang di-Pertua. Terima kasih.
Datuk Dr. Haji Mustafa bin Musa
Terima kasih Yang Berhormat Senator Dato' Prof.
Emeritus Dr. Mohammad Redzuan bin Othman. Banyak menyentuh perkara yang terkait dengan rang undang-undang yang sedang kita bahaskan pada petang ini.
Seterusnya saya mempersilakan Yang Berhormat Tuan Azahar bin Hassan. Tak ada?
Silakan YB.
Tuan Azahar bin Hassan
Terima kasih Yang Berhormat Speaker. Tahniah atas jadi Speaker hari ini. Bila dengar suara tadi, eh, suara ni macam biasa dengar sebelah sini. Tiba-tiba ada sebelah sini. Tahniah, tahniah.
Datuk Dr. Haji Mustafa bin Musa
Terima kasih.
Tuan Azahar bin Hassan
Okey, berkaitan dengan rang undang-undang akta yang kita bahaskan hari ini, pertama sekali kita nak ucap tahniah kepada Kerajaan Negeri Perlis dan juga ESR Motor kerana telah berjaya menandatangani satu persefahaman untuk membina sebuah projek ESR Dragway di Perlis iaitu projek ni, dia kira macam join venture-lah antara swasta, ESR Motor dan juga kerajaan negeri yang melibatkan kos RM20 juta.
Jadi, ini satu kemenangan lah untuk anak-anak muda di Perlis untuk beraktiviti dengan lebih sihat dan sebagainya. Tahniah Kerajaan Negeri Perlis, Yang Amat Berhormat Menteri Besar Perlis, Tuan Abu Bakar Hamzah dan juga ESR Motor.
Okey, berkaitan dengan isu-isu semasa hari ini kita nak bentang tengok seksyen 66 dan juga 126, kawal selia bengkel dan juga monopoli PUSPAKOM. Kita tengok dalam pindaan ini dia memperluaskan kuasa Menteri untuk mengawal selia pendaftaran standard teknikal, bengkel, kilang ubah suai, institut memandu serta komponen-komponen kenderaan.
Ia dijangka mewujudkan satu ekosistem yang menyeluruh, membuka pasaran pemeriksaan kenderaan untuk pihak ketiga, selain daripada PUSPAKOM lah, tetapi kita tengok hari ini monopoli PUSPAKOM ini kadang-kadang dia juga menyusahkan rakyat dengan masa menunggu yang lama, tiga, empat jam. Kemudian kita tengok ada juga video-video hasil-hasil daripada PUSPAKOM itu, ada yang tidak berpuas hati. Saya teringat satu video tu daripada seorang anak muda lah. Cerita dia, cermin dia tidak tinted pun, tapi masih lagi 44 percent kadar kegelapan tu.
Maknanya tak lepaslah, tapi tiada tinted. Dia cuba nak membantah dan sebagainya, tapi tak dilayan, tapi ini kadang-kadang rakyat dia jadi mangsa. Kita kena tengok balik. Bila ada pilihan-pilihan lain selain daripada PUSPAKOM, mungkin kita akan dapat khidmat yang lebih baik, harga yang lebih murah dan kos-kos tersembunyi itu dapat kita hilangkan lah dan dapat membantu rakyat.
Kemudian, bengkel ini akan tertakluk kepada satu standard perundangan yang ketat. Jadi, nampak gaya lepas ni tak boleh nak main-mainlah dengan akta ini. Kemudian seksyen berikutnya adalah seksyen banyak lagi ni 14, 15, 26, 40, 59, 66A, 76A, 79, 102 dan 120. Kenaikan denda minimum bagi kesalahan seperti had laju, tiada lesen, langgar lampu isyarat dan juga nombor plat fancy. Tuan Yang di-Pertua, saya tengok hari ini purata kelajuan kita di lebuh raya adalah 110 lah. Kemudian 110 ni maksudnya perlahan sangat sebab tu banyak orang bawa 130, 140.
Bukanlah maksudnya macam ini, undang-undang ini saya rasa kena kaji balik dengan jalan raya kita yang makin elok ni, highway kita ni. Sekurang-kurangnya bagilah 120 untuk kelajuan yang minimum ataupun maksimum, kan? Sebab macam YB kita tadi, dia sendiri kena saman tengok telefon. YB kita yang duk berulang ni dari Perlis, dari Kedah ke KL ni, sekali pi satu saman, balik satu saman, kan?
Jadi, 110 kadang kita tak sedar dia perlahan. Saya rasa dalam 120 ni tak bahaya lagi.
Yang bahaya ni race di jalan raya. Yang race ni dia lari dalam 150, 160, 200 dan sebagainya tu memang bahaya dan patut dikenakan tindakan yang...
Datuk Dr. Haji Mustafa bin Musa
YB, 110 pun dah banyak yang meninggal YB.
Tuan Azahar bin Hassan
Jarang, jarang. Yang meninggal tu semua 150 ke atas.
Datuk Dr. Haji Mustafa bin Musa
[Ketawa] Okey.
Tuan Azahar bin Hassan
Yang meninggal 110 ni dia duk sebelah kanan. Itu yang meninggal tu, yang datang nak potong tu 150. Ha, itu. Jadi, kita minta Menteri kaji balik, lama ni.
Bagilah peluang sikit kepada orang-orang yang ada kereta baru-baru ini bawa laju sikit, 120 bolehlah atau 130.
Kemudian, plat fancy, langgar lampu isyarat dan juga tiada lesen. Ini masalah besar.
Langgar lampu isyarat ni dia banyak di belah-belah kampung. Dia macam tak boleh nak sabar, dia merah tu memang dia sangat marah dan dia langgar. Dia tak boleh tunggu lampu hijau. Ini masalah ini memang kalau di Perlis ni biasa sebenarnya sebab dia tak ada kamera lagi. Ada kamera dia takut sedikit.
Di Perlis ini, memang kalau ada traffic light tu kalau ni memang kadang-kadang dia orang langgar juga lah. Itu kalau bagi denda tinggi pun kalau kena orang kampung ni susah juga lah, boleh muflis, tapi nak mendisiplinkan, saya setuju. Kita kena disiplinkan manusia ini dengan undang-undang juga.
Okey, plat fancy. Ha, plat fancy pun kadang-kadang dia buat nombor plat sampai kita pun tidak boleh baca. Jadi, untuk apa dia buat kita pun tak faham, tapi kalau plat fancy ni sebenarnya lebih merbahaya sebab digunakan untuk jenayah-jenayah yang lain seperti merompak, guna motor tu tak boleh baca dan sebagainya. Saya bersetujulah untuk plat fancy.
Tiada lesen, ini kena bantu sebab kos mengambil lesen sekarang ni mahal. Mahal. Jadi, banyak keluarga yang tak mampu. Saya nak cadangkan supaya kerajaan hari ini bagi lesen percuma lah untuk umur 18. Bagi lesen percuma sebagai satu bantuan kepada rakyat. Setuju tak— tak setuju juga?
Tuan Azahar bin Hassan
Bagi lesen percuma ini macam kita pilihan raya lah, umur 18 layak mengundi. Jadi, umur 18 ini kita bagi lesen percuma supaya semua ada lesen. Barulah kita tidak menekan dengan harga yang bukan-bukan. Nak ambil lesen motor sekarang pun lebih RM1,000 lebih, lesen kereta pun RM2,000 saya rasa. Mahal, membebankan. Bagaimana kalau kita nak mengurangkan kos- kos untuk membantu rakyat lah?
Okey, kita tengok sini tak ada lagi hukuman untuk pemandu mabuk. Pemandu mabuk ini ada dua jenis. Satu, mabuk dia tak langgar orang. Satu, mabuk langgar orang sampai mati. Ini masalah. Sepatutnya dalam undang-undang ini, untuk pemandu mabuk yang melanggar orang lain sehingga kehilangan nyawa, hendaklah diberi hukuman yang sangat keras. Mungkin penjara, mungkin kita kena fikirkan juga dia kena bagi pampasan kepada keluarga yang dia langgar itu.
Baru dia ada akai, orang Perlis kata.
Kemudian, pemandu mabuk ini tidak ada dalam kita punya— pindaan undang-undang ini, patut dimasukkan. Pemandu mabuk, kita tengok kadang-kadang ini masalah dia, dia pun tak tahu apa yang dia buat. Dia langgar, dia masuk jalan yang bukan jalan dia dan sebagainya. Jadi, perlu ada undang-undang yang keras. Ini baru patut bagi denda yang besar, bukan hal-hal lain yang kita tengok tak berapa penting. Mabuk ini memang masalah kepada negara.
Jadi kemudian seksyen 72(4), kuasa tunda PBT. Memperjelaskan kuasa pihak berkuasa tempatan untuk menunda kenderaan yang melanggar peraturan parkir ataupun atas risiko pemilik. Punca kuasa kenderaan boleh ditahan di depoh PBT sehingga pemilik melunaskan bayaran denda dan sebagainya. Ini memberi kuasa kepada PBT untuk kereta-kereta buruk yang ada di tempat-tempat parkir di tepi-tepi jalan, memberi taring sedikit kepada PBT lah.
Cuma kita minta PBT jangan menggunakan kuasa yang berlebihan. Kadang-kadang di tempat-tempat yang parkirnya sesak, dia nak tunda juga, nak tahan juga, tak bolehlah, tetapi benda ini bagus sebab banyak kereta-kereta buruk ini ditinggalkan dan semak mata memandang.
Jadi, kita minta supaya undang-undang ini disokonglah. Kemudian, kita tengok daripada segi yang lain-lain. Keperluan-keperluan untuk kita meminda undang-undang ini sangat-sangat baiklah. Jadi, saya menyokong pindaan untuk undang-undang bagi yang kita bentang hari inilah, untuk seksyen dan semua seksyen yang saya bentang tadi, saya sokong. Cuma kita minta bahawa perkara itu ditambah baik. Terima kasih. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Datuk Dr. Haji Mustafa bin Musa
Terima kasih, Yang Berhormat Senator Tuan Azahar bin Hassan.
Sekarang, saya mempersilakan Yang Berhormat Tuan Haji Musoddak bin Ahmad untuk berbahas. Silakan.
Tuan Haji Musoddak bin Ahmad
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih Datuk Yang di-Pertua kerana memberi peluang kepada saya untuk mengambil bahagian dalam perbahasan RUU Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2026 ini. Secara prinsipnya, saya menyambut baik usaha kerajaan memperkukuh keselamatan jalan raya, modenkan sistem penyampaian dan meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan. Walau bagaimanapun, setiap hukuman dan kuasa yang baharu perlu dilaksanakan secara jelas, adil serta tidak membebankan rakyat secara tidak munasabah. Saya ingin membangkitkan beberapa perkara.
Pertamanya, berkenaan dengan kesalahan lumba haram seperti mana yang dikaitkan oleh rakan-rakan sebelum ini. Fasal 15 memperkenalkan seksyen baharu 42A berhubung kesalahan berlumba atau melakukan dugaan kelajuan di jalan raya. Semua kesalahan-kesalahan ini, pesalah boleh didenda sampai RM2,000 sehingga RM10,000, RM5,000 hingga RM20,000 atau penjara sehingga lima tahun dan saya menyokong ketegasan ini. Jalan raya awam ini bukanlah satu litar perlumbaan. Perbuatan berlumba haram bukan sahaja membahayakan pelumba, tetapi malah mengancam pengguna jalan raya lain yang langsung tidak terlibat.
Namun, saya ingin memohon Menteri menjelaskan takrif dan skop istilah ‘dugaan kelajuan’ ini. Adakah ia hanya melibatkan aktiviti yang dirancang atau boleh merangkumi perbuatan spontan seperti dua kenderaan yang memecut di lampu isyarat? Contohnya motosikal, dia nak tunjuk power dia di situ, dia press. Lampu hijau itu, dia press dua-dua sekali ataupun tiga sekali.
Adakah itu ditakrifkan sebagai dugaan kelajuan ataupun sebaliknya? Elemen niat dan bentuk pelakuan yang dianggap sebagai dugaan kelajuan perlu diperjelaskan. Ini penting supaya penguatkuasaan tidak bergantung kepada tafsiran individu dan tidak menimbulkan ketidakadilan.
Pada masa yang sama, hukuman sahaja tidak akan menyelesaikan masalah lumba haram. Tindakan juga perlu diambil terhadap penganjur, pihak yang menutup jalan, bengkel yang melakukan pengubahsuaian berbahaya dan pihak yang menggunakan media sosial untuk penyelarasan perlumbaan.
Kerajaan juga perlu mengenal pasti kawasan panas lumba haram berdasarkan data kemalangan, aduan penduduk dan operasi penguatkuasaan. Kawasan-kawasan tersebut perlu diberikan pencahayaan yang lebih baik, kamera pengawasan dan rondaan berkala. Bagi pesalah muda, saya mencadangkan supaya program pemulihan yang merangkumi pendidikan, keselamatan jalan raya, khidmat masyarakat dan latihan automotif yang sah. Kita perlu membezakan antara minat terhadap sukan permotoran dengan perbuatan mempertaruhkan nyawa orang awam.
Perkara yang kedua tentang penguatkuasaan dan semak imbang. Fasal 30 memperkenalkan seksyen baharu 110B. Saya menyokong tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang menyerang, mengancam, mencederakan atau menghalang pegawai-pegawai polis dan pegawai pengangkutan jalan ketika mereka menjalankan tugas. Namun, perenggan 110B(1)(c) juga menjadikan perbuatan menyebarkan maklumat mengenai apa-apa aktiviti pegawai sebagai suatu kesalahan. Hukumannya adalah denda RM10,000 hingga RM50,000 atau penjara satu hingga lima tahun.
Saya mohon penjelasan Menteri berhubung keluasan frasa ‘Apa-apa aktiviti tersebut’.
Adakah seorang yang berkongsi lokasi sekatan jalan raya sepertimana yang saya tanya soalan tadi, memberi lampu isyarat ataupun Google Map yang ada dalam telefon boleh dianggap melakukan kesalahan? Bagaimana dengan wartawan yang membuat liputan atau pengguna jalan raya yang merakam tindakan pegawai bagi tujuan bukti?
Jika tujuan peruntukan ini adalah untuk menghukum pihak yang sengaja membantu pesalah melarikan diri atau menggagalkan operasi, maka elemen niat tersebut hendaklah dinyatakan dengan jelas. Pengecualian juga perlu dipertimbangkan bagi pelaporan kewartawanan, aduan salah laku, penyerahan bukti kepada pihak berkuasa dan pendedahan yang dibuat demi kepentingan awam.
Fasal 33 pula membolehkan notis disampaikan secara elektronik dan dianggap telah disampaikan apabila mesej memasuki sistem yang didaftarkan. Pendigitalan ini baik namun memasuki sistem tidak semestinya bermakna notis telah dibaca. Nombor telefon mungkin boleh bertukar, e-mel juga mungkin tidak lagi digunakan dan akaun boleh digodam. Saya mencadangkan supaya notis penting dihantar melalui sekurang-kurangnya dua saluran. Rakyat juga perlu diberikan mekanisme mudah untuk membuktikan bahawa kegagalan menerima notis bukan berpunca daripada kecuaian mereka.
Perkara yang ketiga, kenaikan denda daripada RM300 kepada RM500. Beberapa fasal dalam rang undang-undang ini menaikkan kadar denda RM300 kepada RM500. Antaranya melibatkan kesalahan berkaitan nombor pendaftaran, lesen kenderaan motor, lesen memandu, had laju, keadaan kenderaan, pemeriksaan kenderaan dan arahan lalu lintas.
Fasal 37 turut menaikkan amaun maksimum kompaun bagi kesalahan boleh dikompaun daripada RM300 hingga RM500. Kita memahami bahawa kadar hukuman perlu dikemas kini supaya mempunyai kesan pencegahan. Namun, saya ingin meminta penjelasan daripada Menteri, adakah kerajaan telah membuat penilaian mengenai kesan kenaikan ini terhadap rakyat khususnya golongan B40, pekerja gig dan sebagainya?
Tuan Haji Musoddak bin Ahmad
Kadang-kadang, Yang Berhormat Datuk Speaker, saman-saman yang dikeluarkan ini berantai. Apabila kita nak sambung Road Tax ataupun nak sambung lesen, pada ketika itu kita lihat black list kita terlalu banyak sampai tiga, empat saman. Empat saman kalau kali dengan tiga, RM1,200. Nak sambung lesen mungkin RM30 sahaja, tapi lesen tidak boleh sambung kecuali dengan penjelasan saman-saman tersebut. Ini membebankan rakyat.
Mungkin RM500 mungkin dilihat sebagai jumlah yang kecil bagi setengah pihak. Tetapi, keluarga yang berpendapatan rendah, RM500 boleh bersamaan dengan perbelanjaan makanan selama mungkin sebulan, mungkin dua bulan. Kita tidak mahu hukuman yang sama memberikan kesan yang terlalu berbeza. Bagi golongan berpendapatan tinggi, RM500 mungkin murah dibayar. Bagi golongan miskin, jumlah yang sama boleh menyebabkan mereka berhutang atau gagal memenuhi keperluan keluarga.
Saya ingin bertanya, apakah asas yang digunakan untuk mengenakan RM500 ini?
Adakah ia berdasarkan kajian kadar ketidakpatuhan, kadar inflasi atau keberkesanan denda RM300 yang sedang berkuat kuasa? Adakah kerajaan juga mempertimbangkan kemudahan bayaran secara ansuran bagi kes tertentu, khususnya bagi pesalah kali pertama daripada kumpulan berpendapatan rendah ini?
Saya tidak mempertikaikan keperluan mengenakan hukuman. Mereka yang melakukan kesalahan mesti bertanggungjawab. Namun, hukuman mesti berkadar dengan jenis kesalahan, tahap bahaya dan kemampuan pesalah. Kesalahan teknikal atau pentadbiran tidak seharusnya dilayan sama seperti perbuatan yang dilakukan dengan sengaja yang membahayakan nyawa.
Poin yang keempat ialah dasar diskaun saman dan sikap menunda bayaran. Perkara terakhir yang ingin saya bangkitkan ialah mengenai pemberian diskaun saman yang sering diumumkan pada penghujung tahun atau sempena program tertentu. Kita perlu melihat kesan pendekatan ini terhadap sikap pengguna jalan raya. Apabila diskaun lazimnya diumumkan pada hujung tahun, sebahagian orang mungkin sengaja menangguhkan pembayaran kerana menjangkakan tawaran diskaun akan diberikan. Saya juga termasuk golongan ini.
Keadaan ini menimbulkan persoalan keadilan. Orang yang bertanggungjawab akan membayar saman dengan segera mungkin membayar jumlah penuh, sedangkan mereka yang menunggu pula berpeluang menikmati diskaun. Saya memohon penjelasan Menteri, apakah dasar sebenar kerajaan mengenai pemberian diskaun saman ini? Adakah tujuannya untuk membantu rakyat, menggalakkan penyelesaian tunggakan atau sekadar dilaksanakan sempena acara tertentu?
Kita memahami bahawa mekanisme pengurangan kadar bagi pembayaran awal telah pun dilaksanakan. Oleh itu, isu yang saya bangkitkan bukanlah mengenai diskaun pembayaran awal, tetapi mengenai saman lama dan tunggakan yang masih belum diselesaikan.
Masa sudah tamat. Saya sebenarnya menyokong RUU ini. Sekian, terima kasih.
Datuk Dr. Haji Mustafa bin Musa
Terima kasih, Yang Berhormat Senator Tuan Haji Musoddak bin Ahmad.
Sekarang saya menjemput Yang Berhormat Senator Tuan Isaiah a/l D. Jacob. Silakan.
Tuan Isaiah a/l D. Jacob
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Saya ucapkan terima kasih untuk memberi ruang kepada saya berbahas pindaan Akta Pengangkutan Jalan yang kita nak bahas hari ini.
Sebelum itu, saya ingin nak ucapkan terima kasih kepada kerajaan dan juga Kementerian Pengangkutan yang memberi banyak kemudahan untuk OKU. Saya ucapkan terima kasih, khususnya lesen pemandu diberi percuma dan juga beberapa perkara telah diberikan kepada kami. So, saya ucapkan terima kasih di sini.
Saya ingin bawa beberapa perkara untuk kementerian untuk membaik pulihkan inklusif bagi OKU di jalan raya. Dalam rang undang-undang ini, kita boleh bawa perkara-perkara seperti beberapa perkara saya ingin cadangkan dan membaikikan.
Yang pertama sekali adalah undang-undang pengangkutan jalan raya fokus kepada keselamatan OKU. Keselamatan jalan raya mesti inklusif untuk semua termasuk OKU fizikal, penglihatan, pendengaran dan integrasi ataupun pembelajaran.
Kedua, berkuat piawaian infrastruktur mesra OKU seperti lintasan pejalan kaki dengan syarat bunyi, laluan kerusi roda yang sesuai, lampu isyarat dengan masa melintas yang cukup serta papan tanda yang mudah difahami. Didapati banyak kawasan, khususnya kalau kita pergi ke Brickfields, di mana kawasan itu diisytiharkan sebagai kawasan khas untuk OKU, khususnya penglihatan, masih lagi tidak mesra OKU di kawasan tersebut.
So, saya minta Kementerian Pengangkutan di bawah akta, undang-undang jalan raya diketatkan untuk tindakan-tindakan saman terhadap pengguna seperti gerai-gerai, penjaja- penjaja yang membina ataupun membuat perniagaan di atas tapak di mana OKU penglihatan tidak dapat meneruskan perjalanan mereka sebab tanda braille yang menggunakan kaki itu mereka letak gerai makan di atas itu. Kebanyakannya berlaku di Brickfields dan juga di kawasan lain-lain juga. So, saya mohon pihak jabatan kementerian mengambil tindakan yang tegas terhadap mereka ini.
Yang ketiga, pastikan pengangkutan awam benar-benar boleh diakses. Contohnya, bas.
Tuan Yang di-Pertua, ia amat sedih sekali. Bagi kementerian, saya pernah naik bas ekspres satu tempat ke satu tempat. Kebanyakan, I boleh kata, hampir 100 peratus bas ekspres tidak mempunyai akses OKU. Saya gunakan tongkat naik tangga depan, masuk dalam sedikit sahaja.
Ia tidak sesuai, tidak mengikuti piawaian antarabangsa.
So, apakah tindakan? Ataupun, ada OKU fizikal yang khususnya seperti kerusi roda, bagaimana mereka akan menaiki? Ini adalah isu yang serius sebab saya sendiri mengalami kesusahan, pernah jatuh beberapa kali, tapi tak dapat claim sebab kami tak dapat insurance coverage. OKU tidak dapat coverage insurans. So, dengan itu, kami terpaksa tanggung sendiri beban tersebut. Saya mohon dengan akta yang akan diluluskan akan dimasukkan perkara- perkara ini untuk memastikan golongan OKU ini tidak dipinggirkan mereka.
Yang ketiga tadi itu, juga stesen-stesen perhentian bas dan seterusnya, pastikan segala kemudahan-kemudahan asas OKU terdapat di sana kemudahan-kemudahan sokongan juga, terutama sekali adakah lantai yang mereka gunakan sesuai untuk golongan OKU mengikut piawaian antarabangsa, bukan sekadar mencantik-cantikkan kawasan, tetapi ia membawa kemudaratan kepada OKU.
Dan seterusnya, perkara keempat, tingkatkan latihan kepada pemandu kenderaan awam dan penguat kuasa supaya mereka faham keperluan penumpang OKU, termasuk bantuan untuk menggunakan kerusi roda serta individu kurang penglihatan atau kurang pendengaran.
Tuan Isaiah a/l D. Jacob
Kelima, perkasa penguatkuasaan terhadap kesalahan yang jejaskan OKU seperti tempat letak kereta. Saya difahamkan kita ada banyak tempat letak kereta, tapi apabila kita dah ada tempat letak kereta, bukan OKU yang letak kereta. Orang lain, orang biasa, manusia biasa letak— parking kereta mereka di sana. Ia mengganggu golongan OKU apabila seseorang OKU nak parking, mereka tak dapat parking tersebut.
Khususnya banyak berlaku di hospital-hospital di sini dan juga tempat-tempat istirehat di highway, highway kita ada, di Malaysia. So, saya minta kementerian untuk mengadakan satu undang-undang yang keras untuk mereka tidak salah gunakan hak-hak OKU ini.
Dan seterusnya, yang terakhir sekali, saya juga ingin bawa kepada— dalam undang- undang ini kita nak keselamatan jalan raya bukan sekadar kurangkan kemalangan, tetapi pastikan tiada rakyat yang tercicir daripada hak bergerak dengan selamat, selaras dengan semangat Malaysia MADANI dan akses saksama untuk semua. Dengan ini, saya menyokong pindaan akta ini. Sekian, terima kasih Yang di-Pertua.
Datuk Dr. Haji Mustafa bin Musa
Terima kasih Yang Berhormat Senator.
Bersama-sama kita dalam Dewan ini juga sedang menyaksikan perbahasan yang sedang berlangsung adalah generasi muda, anak-anak muda yang melihat bagaimana proses kedaulatan undang-undang itu dipraktikkan dalam sistem demokrasi. Bagaimana undang-undang itu dibentang dan sekarang ini dibahas dan diluluskan. Selamat datang ke Dewan Negara.
Seterusnya saya mempersilakan Yang Berhormat Senator Tuan Pele Peter Tinggom.
Dipersilakan.
Tuan Pele Peter Tinggom
Terima kasih Datuk Yang di-Pertua kerana memberi saya peluang untuk sama-sama membahaskan rang undang-undang yang dinamakan Akta Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2026.
Datuk Yang di-Pertua, RUU ini memperkukuh tindakan penguatkuasaan terhadap kesalahan lalu lintas yang berisiko tinggi seperti memandu secara berbahaya serta memandu secara melulu. Justeru, RUU ini nanti di harap dapat mengurangkan kadar kemalangan maut dan kecederaan serius kepada pengguna jalan raya di negara ini.
Ini dilakukan melalui pindaan kepada seksyen-seksyen yang berkaitan dengan menaikkan denda, kompaun, penalti dan hukuman penjara sekiranya melakukan kesalahan di bawah akta ini nanti. Sebagai contoh Datuk Yang di-Pertua, fasal 15 RUU ini memperuntukkan seksyen baru iaitu 42(A) bagi menjadikan perbuatan berlumba atau duga kelajuan di jalan raya sebagai kesalahan dengan hukuman denda tidak kurang daripada RM2,000 dan maksimum RM10,000 atau dipenjara tidak lebih dua tahun bagi kesalahan kali pertama atau kedua-duanya.
Selain daripada itu, fasal 37 bertujuan untuk meminda seksyen 120 supaya amaun kompaun maksimum bagi kesalahan boleh dikompaun dan dinaikkan daripada RM300 kepada RM500. Hukuman yang lebih setimpal di bawah RUU ini mampu memberi kesan pencegahan, dengan izin, deterrent effect kepada pengguna jalan raya dan menggalakkan budaya pemanduan yang lebih berhemah.
Saya menyokong pindaan kepada seksyen-seksyen lain iaitu seksyen 14, 15, 26, seksyen 40, 59, 66(A), seksyen 72, 76(A), 79 dan 102 dengan menaikkan kadar denda dan had tawaran kompaun dari RM300 ke RM500.
Datuk Yang di-Pertua, pindaan kepada seksyen 2, seksyen 20, seksyen 52, seksyen 53(B), seksyen 65, seksyen 112, 115, 115(A), seksyen 118 dan seksyen 127 RUU ini membolehkan penggunaan teknologi digital dalam pelesenan dan pendaftaran kenderaan digital sifar kertas, pengurusan saman dan pembayaran pintar, penguatkuasaan pintar tanpa sekatan jalan fizikal dan mengurangkan birokrasi dan meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan.
Secara khususnya, pindaan ini memperuntukkan punca kuasa dan meminda kewajipan mengemukakan dokumen dalam bentuk fizikal kepada suatu bentuk digital elektronik. Terima kasih kepada kementerian dan Yang Berhormat Menteri, Timbalan Menteri kerana pindaan- pindaan fasal digital ini secara langsung menutup kelompongan undang-undang lama.
Memastikan pengguna tidak lagi boleh disaman jika gagal menunjukkan salinan fizikal dan menoktahkan pengeluaran cukai jalan bercetak berkuat kuasa penuh. RUU ini menyokong pembangunan sistem pengangkutan pintar. Ini adalah selaras dengan agenda pendigitalan negara melalui penggunaan kamera automatik, sistem pengesanan kesalahan dan analisis data trafik.
Datuk Yang di-Pertua, walaupun demikian, pindaan undang-undang ini hanya akan berkesan jika penguatkuasaan dilaksanakan secara konsisten dan telus. Untuk mengurangkan penyalahgunaan teknologi, penggunaan kamera automatik dan sistem digital perlu mempunyai mekanisme semakan bagi mengelakkan kesilapan penguatkuasaan.
Datuk Yang di-Pertua, kemalangan bukan hanya berpunca daripada kecuaian pengguna, tetapi juga disebabkan keadaan jalan raya yang rosak, pencahayaan yang lemah, papan tanda tidak mencukupi dan reka bentuk jalan yang kurang selamat. Dengan kuasa yang diberikan kepada Ketua Pengarah JPJ, khususnya di bawah pindaan kepada seksyen 20, saya memohon supaya pemakaian teknologi dan sistem digital ini tidak diseragamkan. Lebih lagi di kawasan luar bandar, khususnya di Sarawak dan Sabah yang mempunyai sistem keadaan jalan raya yang berbeza, liputan internet yang terhad serta akses kepada perkhidmatan pengangkutan yang tidak sama dengan negeri-negeri di Semenanjung Malaysia.
Datuk Yang di-Pertua, saya ingin menyarankan kerajaan mengadakan pendidikan keselamatan juga supaya isu keselamatan jalan raya diperkasakan sejak di bangku sekolah dan serta melalui kempen berterusan kepada semua pengguna jalan raya di negara ini. Pindaan kepada akta ini perlu di sokong dengan pelaburan berterusan dalam penyelenggaraan jalan, pencahayaan, papan tanda dan ciri-ciri keselamatan yang berkaitan.
Datuk Yang di-Pertua, sebagai rumusan, secara keseluruhannya RUU Akta Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2026 merupakan langkah yang positif dalam memperkukuh keselamatan jalan raya, memodenkan sistem pengangkutan serta meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan.
Walau bagaimanapun, kejayaan bergantung kepada pelaksanaan yang adil, penggunaan teknologi secara bertanggungjawab, penambahan infrastruktur, pendidikan pengguna jalan raya serta kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan semua agensi berkaitan.
Tuan Pele Peter Tinggom
Peningkatan yang seimbang antara penguatkuasaan, pencegahan dan pendidikan akan menghasilkan impak yang lebih mampan dalam mengurangkan kemalangan dan meningkatkan keselamatan semua pengguna jalan raya di negara ini.
Walaupun demikian, kita sangat mengharap pindaan berkenaan dengan kesalahan apabila di bawah pengaruh alkohol dan dadah serta pindaan dengan memperkukuhkan lagi penguatkuasaan yang sering menjadi salah satu faktor utama berlakunya kemalangan jalan raya di negara ini akan di bawa pada Mesyuarat Persidangan Parlimen yang akan datang.
Kesalahan di bawah seksyen baru iaitu 110B yang telah dibahaskan oleh rakan-rakan di Dewan yang mulia ini tadi haruslah diterangkan melalui ilustrasi untuk memudahkan pendakwaan di mahkamah sekiranya perkara tersebut di bawa ke mahkamah pada bila berlakunya kesalahan pada masa yang akan datang. Datuk Yang di-Pertua, dengan ini saya mohon menyokong.
Datuk Dr. Haji Mustafa bin Musa
Terima kasih Yang Berhormat Senator Tuan Pele Peter Tinggom atas perbahasan dan sokongan itu ya.
Dan sekarang saya mempersilakan Yang Berhormat Senator Tuan Haji Hussin bin Ismail.
Yang Berhormat Senator kita ada banyak masa, yang tertinggal tadi boleh cover kalau nak.
Sebab biasanya YB melontarkan idea melebihi had waktu. Silakan YB.
Tuan Haji Hussin bin Ismail
Kena tarik balik gelaran itu Datuk Yang di-Pertua.
Datuk Dr. Haji Mustafa bin Musa
Ya, ya.
Tuan Haji Hussin bin Ismail
Terima kasih Datuk Yang di-Pertua. Saya juga ucap terima kasih di atas peluang yang diberikan. Saya terus kepada poin yang nak dibahaskan.
Datuk Yang di-Pertua, kemalangan jalan raya adalah ranking keempat kadar kematian tertinggi di Malaysia selepas jantung nombor satu, radang paru-paru nombor dua, diabetes nombor tiga, nombor empat ialah kemalangan jalan raya.
Angka yang dicatatkan pada tahun 2021— 4,539 kes kematian; 2022— 6,537 kes; 2023— 6,300 kes; 2024— 6,464 kes; dan tahun 2025— hujung, 6,080 kes, hampir tak turun melainkan meningkat. Berbanding dengan sasaran Pelan Keselamatan Jalan Raya Malaysia yang mensasarkan akan mengurang sebanyak 50 peratus pada tahun 2030. Ertinya apa, bahawa ini adalah merupakan sebahagian tanda kegagalan dalam sistem dan juga penguatkuasaan kita.
Saya ingin untuk kita berkongsi sedikit Datuk Yang di-Pertua, saya nak tanya mana jalan di Malaysia kita ini yang boleh lari kenderaannya 140 ke 200 kilometer sejam, ada tak? Tuan- tuan yang pakai Mercedes ke, pakai Accord ke kalau lari 140 kilometer sejam itu rasa macam mana dekat highway? Macam tak sampai nak balik Kota Bharu itu doktor. Imbang di antara dua perkara, kita punya jalan raya yang hebat, kita punya kenderaan yang hebat, tapi undang-undang menentukan kita 110 kilometer sejam. Di mana kedudukannya? Kita beri suatu ruang untuk kita speed laju, tetapi undang-undang memberi ruang.
Tadi Menteri ada sebut, kita tidak berniat Yang Berhormat Timbalan Menteri untuk tujuan menjadikan ini sumber pendapatan negara, tapi realitinya ini macam ada suatu yang double standard penilaian.
Saya nak baca, saya ambil ini daripada ChatGPT Datuk. Kalau betul, betul, kalau salah, salah. Kalau motosikal berkuasa tinggi yang 250 ke 400cc dia punya kapasitinya 140 ke 180 kilometer sejam, itu belum lagi modified tu. Kalau yang 700, 900cc pergi 200 ke 260 kilometer sejam, kita pergi lebuh raya kita tak sempat nak baca nombor motosikal yang lintas itu. Zupp! Itu 1,000 ke 1,400cc kapasitinya adalah 280 ke 320 kilometer sejam.
Yang Berhormat Menteri, saya sebut hal kereta pula. Kereta 2.0 ini normallah saya rasa yang datang sini semua ini YB 2.0 ke atas kut. Yang biasa bukan turbo 190 ke 220 kilometer sejam. Yang turbo 230 ke 260 kilometer sejam. Kalau pergi kepada super car kalau yang pakai BMW ataupun yang Mercedes Benz yang setaraf dia punya kapasiti 250 kilometer sejam brek sebab elektrik automatik kontrol dia berhenti dekat 250. Saya pun tak pakai, tapi saya tak tahu, saya bacalah. Kalau super car dia boleh pergi sampai 300 ke 400 kilometer sejam.
Yang Berhormat Menteri, kita beri ruang untuk jual kereta termahal. Kita buat jalan raya antara yang terbaik di Asia, tapi kita trap tengah itu. Ada tak undang-undang kita untuk melihat pada sudut ini supaya sebenarnya pemilik-pemilik kenderaan yang hebat-hebat ini takkan nak lari 110 kilometer sejam pakai BMW 7 Series, itu saya bentang untuk kita fikirkan. Dari sudut itu bukan sekadar dari sudut undang-undang yang kita bincang, kita bahas hari ini.
Yang kedua, kita juga bincang tentang sudut lumba haram. Lumba haram ini ialah satu fenomena anak muda dalam Internet dalam apa memang itu benda yang idaman mereka. Yang tak cukup power mesti tambah dia punya modified lagi, tapi isu yang kita perlu lihat juga yang fakta pendukung pada pelaksanaan lumba haram bukan sekadar mengejar pelumba haram.
Saya pergi satu negeri baru ini saya tak ingat negeri mana. Polis dia, dia tak tangkap pelumba haram Yang Berhormat Datuk, sebab dia kata kejar pelumba itu, pelumba itu pula mati, polis-polis pun ada mati sebab dia lari ikut jalan kecil. Jadi yang polis kat situ dia buat satu alat tembak cat yang tak tanggal lepas itu dia kejar cari motosikal yang cat tak tanggal tadi itu. Saya tak tahu kat kita sesuai atau tidak, tapi sekarang ini kita antara penangkapan pelumba haram, bengkel pelumba haram merata-rata dan saya fikir undang-undang kita ini harus mencakupi semua enabler yang menjadi faktor kepada berlakunya sumber program lumba haram sebab dia termasuk lumba haram sebahagian besar lumba haram judi. Dia bukan sekadar biasa dia pertaruhkan wanita, pertaruhkan macam-macam dan ini merupakan satu fenomena anak muda dalam suasana yang dewasa ini.
Kemudiannya yang sudut tadi juga saya fikir harus diambil kira dari segi PBT yang meluluskan lesen-lesen, bengkel-bengkel sebab bengkel-bengkel ini antara penyebab kepada berlakunya program-program yang saya sebutkan tadi.
Saya pergi secara laju-lajulah secara poin-poin dengan masa yang sangat tidak mengizinkan. Walaupun YDP sebut kata boleh bagi sikit ruang. Saya juga ingin boleh kalau Yang Berhormat Pengerusi— dulu kita ada lorong motosikal dalam bandar sekarang lorong motosikal ini saya tengok rasa tak ada dah kut dalam bandar, tapi maharaja jalan raya dalam bandar ini bukan kereta, dia tak ada speed limit. Minta maaflah pada adik-adik, sahabat-sahabat yang pemandu Grab, langsung tak ada limit.
Kita lalu itu dia tengok bergerak ke kiri sikit dia punya hon dengan angkat kakinya sekali, marah kepada kita yang— padahal sepatutnya kan kita ada sebaiknya motosikal ke tepi, kereta sebelah kanan sikit, lepas itu yang laluan lorong lajunya, tapi saya tengok ada tidak mungkin untuk kita kaji juga supaya di bandar-bandar ini kita kontrol adik-adik kita yang terutama sekali yang Grab yang nak kejar trip ini dia tak ada itu traffic light merah ke, hijau ke, biru ke, kuning ke, dia satu color je, nampak orang pup! Dia langgar terus.
Tuan Haji Hussin bin Ismail
Jadi saya fikir, dalam pelaksanaan ini, perkara ini juga harus diberi perhatian. Yang ketiga, saya nak sebut tonto. Baru ini kita, masa buat kunjungan kepada JPJ Kuantan. Tonto ini macam satu benda yang semua tahu cerita tonto, tapi macam tak boleh dibendung. Kenapa tak boleh bendung? Dia macam ada satu persefahaman di tempat yang buat test lesen, dengan tonto, satu.
Di antara kontraktor yang bawa lori tanah yang macam-macam, yang bawa barang besar-besar ini, lori besar-besar ini, dia tahu bila operasi itu nak dibuat. Bila waktu dia patut masuk. Malah, lens kereta yang tak cukup syarat pun boleh lepas.
Baru ini, di dekat dengan JPJ, penuh kedai tayar. Yang Berhormat Menteri, nak masuk JPJ test, tayar baharu belaka. Semua tayar baharu. Keluar JPJ sekejap, tak ada dah tayar baharu. Pakai tayar lama balik dah sebab dia sewa sebelah kedai-kedai itu. Ini, ini, ini, saya tak pasti. Saya yakin penguat kuasa tahu, tapi dia dah menjadi suatu kebiasaan. Orang panggil apa?
Benda yang sama, dah orang tengok. Benda itu jadi amalan. Boleh tidak kita melihat ini juga sebagai suatu program untuk dikuatkuasakan? Tonto ini bukan sebarang— bukan, bukan sudut ambil lesen saja.
Tonto ini bukan sekadar nak beritahu, nak report tentang tentang adanya operasi JPJ, polis dekat mana, tapi tonto ini jauh lebih daripada situ dan saya takut lihat kalau-kalau nanti tonto ini menjadi sindiket yang rasa kebiasaan dah, untuk dia tidak— or normalisasi. Dah jadi normal benda itu semacam kalau nak buat macam ini, kena macam ini. Macam kita nak pergi ambil, nak dapat visa. Kadang-kadang nak ambil visa, payah, lambat, tapi kalau kita ambil orang tertentu, cepat dia dapat.
Yang ketiganya, kita nak sebut juga tentang, kita bercakap tentang pengaruh dadah.
Tuan, saya tengok, Yang Berhormat Datuk, sekarang yang dadah, yang arak ini, yang dadah kita kontrol. Ada AADK dah, macam-macam jenis, tetapi yang minum arak masuk bawa kereta ini, yang baru ini berapa ramai yang kita dengar baru ini, empat buah kereta berlanggar serentak.
Berapa orang mati, berderet mati, tapi bukan masalah yang bawa dadah, masalah pengendalian arak itu sendiri. Kedai arak, pengamalan arak dan lain-lain.
Jadi benda-benda macam ini, saya fikir perlu dibina, dibuat satu ekosistem yang lengkap, barulah dia akan merasakan bahawa segala kekurangan yang berlaku, yang menjadi penyebab, menjadi enabler, yang menjadi penyebab kepada semua-semua benda ini kita cantas, kita kerat, kita buang. Kalau tidak yang rakyat, yang sebahagian tadi. Saya, saya tak sentuh tentang kes hukuman, hukuman, hukuman. Saya pun kadang-kadang rasa nak sentuh. Masa dah habis, tetapi bila kita sebut hukuman, hukuman ini yang paling kenanya orang kampunglah...
Datuk Dr. Haji Mustafa bin Musa
Ya betul.
Tuan Haji Hussin bin Ismail
Yang motosikal kuasa tinggi itu. Ferrari, Ferrari ini, saya tak pernah pula tengok kena sekat dekat tengah jalan. Tak tahulah, takut detector tak boleh nak detect, laju sangat, tapi yang kena ini, termasuk yang duduk jalan kampung. Ini saya minta maaf juga abang-abang polis. Yang kita pun pegang motosikal dua buah, round tepi jalan. Tahan.
Orang pun faham. Kenapa duduk tempat yang tersorok, tersorok, tersorok? Nak tahan? Mahu tak mahu terima sajalah hakikat. Jadi saya, saya mohon supaya berlaku, diwujudkan satu ekosistem yang menyeluruh bila kita melihat sebab semua rakyat Malaysia, saya rasa sekarang tak sampai 10 persen yang— yang tak berkenderaan.
Poin akhir saya ialah dari sudut pendidikan. Kos sewa, kos denda, kos-kos yang lain.
Semua itu mengambil, mengambil duit yang besar dan rakyat terpaksa sumbang. Saya bukan kata nak menyokong orang buat salah ini tak, tetapi bayar denda ini, kadang-kadang sekarang ini tak sedar. Baru ini, saya sendiri pun, tapi saya tak mengaku saya buat salahlah. Kereta saya, orang lain bawa kut. Nak pergi, nak pergi sambung lesen, tak boleh bayar sebab ada tiga saman.
Saya rasa, saya bawa slow. Mungkin driver bawa laju, kan?
Saya rasa yang lebih daripada itu Yang Berhormat Menteri, memang tak masuk dalam peruntukan undang-undang, tapi perkasakan pendidikan kepenggunaan jalan raya. Kos untuk perkasakan pendidikan kepenggunaan jalan raya ini saya rasa tak setinggi berbanding dengan jumlah implikasi pengguna jalan raya terpaksa bayar dan kalau masyarakat ini terdidik dengan, dengan— dengan adab, akhlak, sopan-santun dalam jalan raya ini, mungkin pendekatan kita itu akan jadi lebih, lebih baik.
Saya sikit berpengalaman di— di Laos tuan-tuan. Laos ini, jalan bandar Laos— bandar Loas tak besar, tapi dia punya— dia punya speed limit-nya 50 kilometer sejam. Memang slow.
Kereta nak bergerak daripada— daripada bandar itu, nak pergi ke— memang slow, tapi semua rakyat dia ikut, dalam bandar 50 kilometer sejam.
Kenapa rakyat Laos boleh buat? Saya yakin kerana dia dididik dan ambil masa yang panjang untuk buat begitu. Ada tak ruang program pemerkasaan, pendidikan, kepenggunaan atau pengguna-pengguna jalan raya ini, kita jadikan satu agenda dalam pengolahan walaupun tak masuk, mungkin dalam akta yang kita bahaskan. Terima kasih. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Datuk Dr. Haji Mustafa bin Musa
Terima kasih Yang Berhormat Senator Tuan Haji Hussin bin Ismail.
Dan sekarang saya menjemput Yang Berhormat Senator Tuan Che Alias bin Hamid.
Tuan Che Alias bin Hamid
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua kerana memberi kesempatan kepada saya untuk sama-sama membahaskan Rang Udang-undang Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2026 ini. Saya secara asasnya menyokong pindaan undang-undang yang sangat penting ini. Namun, terdapat beberapa perkara yang perlu diberi perhatian sebelum pindaan ini dikuatkuasakan secara sah.
Yang pertama, berhubung dengan keutamaan untuk meminda undang-undang berkaitan pemanduan mabuk di bawah seksyen 44 [Akta 333]. Tuan Yang di-Pertua, setelah kita meneliti rang undang-undang ini, saya berpandangan bahawa perlunya pindaan terhadap undang- undang berkaitan pemandu mabuk di bawah seksyen 44 [Akta 333]. Pindaan ini harus diberikan keutamaan demi mengangkat aspek perlindungan yang mustahak terhadap waris mangsa itu sendiri. Apabila sesebuah keluarga kehilangan [Tidak jelas] Keluarga ataupun punca rezeki akibat dirempuh pemandu mabuk ini, hukuman penjara mahupun denda yang dibayar kepada Perbendaharaan, kerajaan, sama sekali tidak mampu menyelesaikan krisis yang berlaku khususnya krisis kewangan yang menimpa waris mangsa secara serta-merta.
Oleh itulah atas dasar itulah, sepertimana yang pembahas banyak dibahaskan di peringkat Dewan Rakyat, saya juga ingin mendesak pihak kerajaan, supaya sama-sama mengambil perhatian berhubungan dengan isu pemandu mabuk ini. Agar kerajaan menyegerakan pindaan Akta 333 ini, bagi mengintegrasikan konsep diyat di dalam Islam ini iaitulah perintah pampasan ataupun ganti rugi kewangan mandatori oleh mahkamah ke atas pesalah untuk dibayar kepada iaitulah keluarga si mangsa yang terjejas itu. Di samping menyalurkan sebahagian denda trafik ke dalam tabung khas bantuan kebajikan mangsa yang terlibat dengan kemalangan tersebut.
Oleh itulah langkah ini wajar didukung secara tuntas kerana ia nya merupakan dengan penguatkuasaan hukuman yang diberikan ini iaitulah pembatalan lesen memandu seumur hidup, serta apa yang disebutkan sitaan kenderaan yang dikenakan secara mandatori bagi pesalah yang menyebabkan kematian mangsa dalam kemalangan itu ataupun kenderaan kekal di bawah seksyen 35 dan juga seksyen 45.
Tuan Che Alias bin Hamid
Oleh itu lah serta meletakkan polisi saya mengharapkan ia dapat mengetatkan polisi berhubung dengan berkaitan dengan penjualan alkohol di premis-premis 24 jam yang ada pada hari ini demi menyekat risiko berlakunya kemalangan melibatkan pemandu mabuk ini.
Seterusnya yang kedua, keperluan iaitu lah penyediaan ekosistem selamat sebelum pelaksanaan sitaan mikromobiliti ini.
Tuan Yang di-Pertua, saya ingin menyentuh berhubung dengan fasal 31 dan juga fasal 40 yang meminda seksyen 112 dan seksyen 127 iaitulah berkaitan dengan kuasa menahan iaitu menyita dan juga melupuskan kenderaan mikromobiliti iaitulah walaupun kalau kita lihat tujuan pindaan ini adalah untuk meningkatkan keselamatan jalan raya, saya berpandangan pendekatan yang dibawa terlalu menumpukan kepada penguatkuasaan tanpa disokong oleh penyediaan ekosistem dan juga prasarana yang selamat.
Oleh itulah saya mengharapkan supaya apa yang berlaku di luar sana iaitu ramai rakyat yang menggunakan skuter elektrik umpamanya sebagai penyelesaian untuk ke stesen pengangkutan awam ataupun tempat kerja yang ada pada hari ini. Namun, kebanyakan mereka, kebanyakan bandar yang di negara kita pada hari ini masih lagi tidak mempunyai iaitu lorong mikromobiliti yang selamat yang ada pada hari ini di mana yang disebutkan oleh rakan-rakan Senator tadi iaitulah yang memerlukan satu lorong yang selamat untuk dilalui oleh mereka ini yang menyebabkan pengguna terpaksa berkongsi jalan dengan kenderaan berat ataupun menggunakan kaki lima sehinggalah membahayakan semua pihak yang kita lihat pada hari ini.
Oleh itulah dalam keadaan ini tindakan melupuskan kenderaan yang tidak dituntut dalam tempoh sebulan merupakan hukuman yang terlalu berat, khususnya kepada golongan B40 dan juga pekerja-pekerja gig, ekonomi gig ini. Negara seperti Singapura difahamkan itulah memperkenalkan kawal selia akauntabiliti ini seiring dengan pelaburan yang berlaku dalam pembinaan rangkaian laluan khas yang selamat ini. Sebaliknya di negara kita, prasarana ini masih jauh ketinggalan. Malah, kebanyakan kita lihat lorong basikal hanya berupa garisan ataupun garisan cat tanpa perlindungan yang sebaiknya yang diberikan oleh pengguna.
Oleh itu saya ingin mengemukakan tiga pandangan iaitu lah tiga cadangan.
Yang pertama, kita berharap dapat menyediakan dana khas kepada semua PBT bagi membina lorong mikromobiliti ini yang mempunyai penghadang fizikal bagi memastikan tidak berlaku kemalangan terhadap mereka.
Yang kedua, mewujudkan mekanisme amaran digital dan juga kompaun berperingkat sebelum kenderaan dilupuskan di bawah seksyen 112 ini.
Yang ketiga, mewajibkan semua syarikat sewaan mikromobiliti ini memasang sistem kawalan had laju automatik di kawasan yang berisiko tinggi. Saya berharap kerajaan memberi perhatian yang utama kepada pendigitalan iaitu lah prasarana yang selamat sebelum memperluaskan kuasa penyitaan dan juga pelupusan yang dilakukan.
Seterusnya, yang ketiga, yang terakhir, saya ingin menyebut berhubung dengan isu pindaan Seksyen 20 dan juga 116. Implikasi penghapusan dokumen fizikal.
Dato’ Yang di-Pertua, seterusnya saya ingin membawa Dewan yang mulia ini iaitu lah meneliti satu kelompongan yang besar yang berisiko menafikan hak keadaan semula jadi rakyat iaitu kesan daripada pindaan seksyen 20 dan juga seksyen 118 iaitulah berkait dengan digitalisasi. Berdasarkan objektif pertama skop peningkatan perkhidmatan teras JPJ iaitulah dalam RUU ini, kerajaan berhasrat menghapuskan kewajipan memperagakan lesen fizikal dan juga menukarkannya kepada kaedah pengemukaan maklumat elektronik.
Kemuncaknya, seksyen 118(5) yang kita lihat menetapkan bahawa sesuatu notis saman ataupun kompaun yang dikenakan kepada pesalah dianggap telah disampaikan secara sah sebaiknya sahaja mesej elektronik ini dimasukkan ke dalam sistem penerimaan. Oleh itu, kita harapkan supaya ia dapat diberi perhatian yang sebaiknya.
Persoalan saya, adakah formula tadbir urus digital ini berpihak di bumi yang nyata di negara kita pada hari ini? Kerana kita lihat mengikut data petunjuk infrastruktur, telekomunikasi semasa yang ada di negara kita pada hari ini, bagaimana jurang digital di kawasan luar bandar dan juga kawasan pedalaman, sama ada di Sabah, Sarawak dan juga di pedalaman kawasan di Semenanjung kita yang ada pada hari ini kita lihat masih lagi kritikal.
Oleh itu, bagaimanakah nasib iaitulah pekebun kecil, komuniti orang asli yang berada di kawasan pedalaman ataupun warga emas di kawasan-kawasan yang tidak mempunyai liputan internet yang ada pada hari ini yang tidak mempunyai capaian 4G dan 5G yang stabil yang ada pada hari ini. Mengambil contoh realiti teknikal yang berlaku aplikasi digital agensi kerajaan sedia ada, sistem kerap kali mengalami gangguan fungsi ataupun sekatan daripada pelayar iaitu kepada ketika trafik pengguna yang melonjak tinggi.
Akhir sekali, sekiranya notis ini dianggap telah disampaikan secara automatik mengikut undang-undang sedangkan penerima mengalami masalah teknikal iaitulah menyebabkan perantinya, kecapaian internet tidak sampai atau,pun ketiadaan rangkaian data. Mereka secara sistematik akan terlepas tempoh pengumumannya, gagal membayar kompaun akhirnya dituduh di mahkamah tanpa disedari oleh pesalah. Ini adalah satu diskriminasi perundangan yang jelas yang menafikan hak kepada masyarakat, khususnya kepada rakyat kita yang berada di kawasan pedalaman.
Oleh itu, sebagai menambah baik saya mencadangkan supaya agar Kementerian Pengangkutan menetapkan prasyarat bahawa infrastruktur dan juga liputan internet di seluruh negara mestilah dibaiki serta diperkukuhkan terlebih dahulu sebelum pelaksanaan sistem digital ini dilaksanakan oleh pihak kerajaan. Ini dikuatkuasakan secara menyeluruh. Langkah ini wajib melibatkan kerjasama yang strategik yang merentas kementerian sama ada melibatkan Kementerian Digital ataupun Kementerian Komunikasi bagi memastikan tiada lagi kawasan yang tidak mempunyai capaian internet ini.
Akhir sekali, sebagai pelan alternatif sekiranya isu capaian ini belum diselesaikan oleh pihak kerajaan, saya mengharapkan pelaksanaan sistem kembar iaitulah dua sistem bagi kawasan luar bandar dan juga kerajaan mewajibkan mengekalkan pilihan penghantaran notis fizikal iaitulah melalui surat berdaftar iaitu pendigitalan separuhnya bagi memudahkan kehidupan rakyat khususnya di kawasan luar bandar.
Bukan berfungsi sebagai perangkap iaitulah perundangan yang menghukum kelompok marhaen di bawah sana yang terpinggir daripada arus pemodenan teknologi yang ada pada hari ini kerana mereka ini tidak mempunyai kecapaian internet dan sebagainya. Kalau kita harapkan ianya apa yang saman dan sebagainya sampai melalui internet, tetapi mereka tidak empunyai akses yang baik maka itu merupakan menafikan hak mereka kepada mereka yang ada di luar bandar. Terima kasih Dato’ yang di-Pertua dan saya menyokong.
Datuk Dr. Haji Mustafa bin Musa
Terima kasih, Yang Berhormat Senator Tuan Che Alias bin Hamid. Sekarang saya menjemput Yang Berhormat Senator Datuk Anna Belle.
Okey, kita beri laluan terlebih dahulu kepada Yang Berhormat Senator Dato’ Leong Ngah Ngah. Dipersilakan Dato’.
Dato’ Leong Ngah Ngah
Terima kasih Dato’ Yang di-Pertua. Terima kasih sebab berikan peluang kepada saya untuk mengambil bahagian dalam perbahasan Rang Undang-undang Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2026.
Saya menyokong usaha kerajaan meminda Akta Pengangkutan Jalan agar selari dengan perkembangan teknologi, perubahan corak pengangkutan dan cabaran keselamatan jalan raya pada masa kini. Undang-undang yang digubal puluhan tahun perlu sentiasa dikemas kini supaya kekal relevan dan berkesan.
Dato’ Yang di-Pertua, saya ingin menumpukan kepada dua isu utama. Pertama, gejala lumba haram dan mat rempit. Gejala lumba haram telah sekian lama menjadikan ancaman kepada keselamatan pengguna jalan raya. Kegiatan ini bukan sahaja melibatkan penunggang motosikal malahan membahayakan pengguna jalan raya yang tidak bersalah. Kita sering mendengar kes kemalangan maut yang melibatkan lumba haram terutamanya pada waktu malam dan hujung minggu.
Oleh itu, saya menyokong langkah kerajaan memperketatkan perundangan undang- undang yang berkuat kuasa terhadap mereka yang terlibat dalam lumba haram. Hukuman yang lebih tegas perlu diambil dengan penguatkuasaan yang konsisten supaya memberikan pencegahan yang lebih berkesan.
Nombor dua, kenderaan elektrik. Seiring dengan kemajuan teknologi, penggunaan motor elektrik semakin meluas dan prestasi juga semakin meningkat. Malaysia sendiri sedang membangunkan industri kenderaan elektrik dan menarik pelaburan dalam sektor ini. Justeru, adalah wajar Akta Pengangkutan Jalan dipinda supaya merangkumi peraturan yang lebih jelas mengenai piawaian keselamatan, pendaftaran dan pelesenan, had kelajuan serta penguatkuasaan terhadap kenderaan elektrik dan kenderaan mikromobiliti. Langkah ini penting bagi memastikan perkembangan teknologi tidak mendahului aspek keselamatan jalan raya.
Dato’ Yang di-Pertua, saya ingin juga mencadangkan supaya JPJ memperhebatkan penguatkuasaan kepada kenderaan yang mengeluarkan asap hitam melebihi had yang dibenarkan. Pemilik kenderaan wajar diberikan notis untuk membaiki kenderaan dalam tempoh tertentu. Sekiranya gagal mematuhi notis tersebut, tindakan penguatkuasaan yang lebih tegas hendaklah diambil. Langkah ini penting bagi mengurangkan pencemaran udara, menjaga kesihatan rakyat dan memastikan kenderaan berada dalam keadaan selamat di jalan raya.
Dato’ Yang di-Pertua, berhubung dengan fasal 29 bertujuan untuk meminda subseksyen 109(3A) Akta 333 memperuntukkan bahawa pemegang lesen yang juga merupakan pemilik berdaftar kenderaan boleh dianggap melakukan satu kesalahan sekiranya pekerjanya melakukan kesalahan di bawah seksyen baharu 42A semasa menjalankan tugas. Secara prinsipnya, usaha kerajaan untuk meningkatkan tahap pematuhan undang-undang jalan adalah wajar. Namun demikian, saya mempunyai beberapa persoalan minta diperjelas.
Pertama, adakah ini bermaksud setiap kali seorang pekerja melakukan kesalahan di bawah seksyen baharu 42A ketika menjalankan tugas, majikan ataupun pemegang lesen juga dikenakan saman atau pendakwaan? Nombor dua, apakah asas tanggungjawab yang dikenakan pada majikan? Adakah kerana majikan gagal menyelia pekerja, gagal menyediakan latihan yang mencukupi atau semata-mata kerana majikan merupakan pemilik berdaftar kenderaan tersebut?
Ketiga, adakah kerajaan menyediakan balasan yang munasabah kepada pemegang lesen? Sebagai contoh, jika majikan telah menyediakan latihan, mengeluarkan arahan yang jelas, mengendalikan kenderaan dengan baik dengan mengambil semua langkah yang wajar untuk memastikan pematuhan undang-undang, adakah majikan masih akan dipertanggungjawabkan?
Saya berpendapat bahawa tanggungjawab majikan perlu ditentukan secara adil. Undang- undang tidak seharusnya menghukum majikan secara automatik atas setiap kesalahan pekerja tanpa mengambil kira sama ada majikan telah melaksanakan segala langkah pencegahan yang munasabah.
Dato’ Yang di-Pertua, tidak dinafikan di dalam tempoh hampir empat tahun ini, Kementerian Pengangkutan telah mencapai beberapa prestasi yang dapat dipuji. Nombor satu, transformasi digital JPJ melalui MyJPJ.
Nombor dua, penambah baik perkhidmatan dalam talian, usaha memperkukuh keselamatan jalan raya melalui pelbagai operasi dan kempen kesedaran.
Oleh itu, saya mohon penjelasan mekanisme pelaksanaan peruntukan ini supaya tidak menimbul ketidakpastian dalam kalangan masyarakat pengangkutan, pengusaha bas, syarikat logistik dan pemilik kenderaan komersial.
Dato’ Yang di-Pertua, usaha kerajaan melalui Kementerian Pengangkutan memperkukuhkan sistem pengangkutan negara khususnya pembangunan MRT, LRT, landasan kereta api dan infrastruktur pengangkutan bagi mengurangkan kesesakan jalan raya yang semakin membeban rakyat. Kita harus mengakui bahawa kerajaan telah menunjukkan komitmen yang serius dalam memperluaskan jaringan pengangkutan awam.
MRT Putrajaya Line yang telah siap dan beroperasi sepenuhnya merupakan satu pencapaian besar. Begitu juga dengan RTS Link, Rapid Transit System di Johor. Selain itu, projek LRT 3 – Shah Alam Line yang sedang menghampiri fasa akhir pembinaan juga amat penting.
Kawasan Shah Alam dan Klang merupakan antara kawasan yang mengalami kesesakan jalan yang tinggi setiap hari. Apabila laluan beroperasi kelak, saya percaya ia akan membantu mengurangkan jumlah kenderaan yang memasuki tempat bandar dan bandar utama.
Dato’ Leong Ngah Ngah
Dato’ Yang di-Pertua, berhubung projek East-Coast Rail Link (ECRL). Inilah satu pencapaian yang sangat digalakkan. Saya ingin mencadang kerajaan memberikan perhatian kepada bandar-bandar seperti Kuantan, Temerloh, Bera, Mentakab supaya mereka tidak dipinggirkan.
Akhir sekali, saya ingin merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam pembangunan pengangkutan negara. Saya harap kerajaan akan terus memperkukuh sistem pengangkutan awam negara secara menyeluruh dan memastikan setiap projek dilaksanakan mengikut jadual, berkualiti serta memberikan manfaat maksimum kepada negara.
Datuk Yang di-Pertua, akhir kata, saya yakin pindaan ini akan meningkatkan keselamatan jalan raya, melindungi nyawa orang ramai dan mewujudkan satu sistem pengangkutan negara yang lebih selamat, moden dan berdaya saing.
Dengan ini, saya menyokong rang undang-undang pindaan ini dan saya harap setiap cadangan yang saya sebut tadi dapat juga diambil perhatian. Sekian, terima kasih.
Datuk Dr. Haji Mustafa bin Musa
Terima kasih Yang Berhormat Senator Dato' Leong Ngah Ngah dan sekarang saya menjemput Yang Berhormat Senator Datuk Anna Bell. Silakan.
Datuk Anna Bell @ Suzieana binti Perian
Terima kasih Datuk Yang di-Pertua di atas ruang dan peluang yang diberikan kepada saya berdiri di Dewan yang mulia ini untuk membawakan suara serta denyut nadi rakyat dalam perbahasan Rang Undang-undang Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2026.
Sebagai permulaan, saya meletakkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada Yang Berhormat Menteri Pengangkutan serta seluruh warga kementerian. Kesungguhan membentangkan pindaan kepada Akta Pengangkutan Jalan 1987 [Akta 333] ini adalah satu cerminan kepimpinan yang bertindak balas dengan realiti semasa. Ia membuktikan bahawa kerajaan bukan sahaja mendengar, malah prihatin terhadap keperluan perundangan yang progresif, relevan dan benar-benar melindungi rakyat di luar sana.
Datuk Yang di-Pertua, pindaan ini tidak seharusnya dipandang dari sudut penguatkuasaan semata-mata. Di sebalik barisan klausa dan perundangan ini, ada agenda besar untuk menyelamatkan nyawa manusia. Dalam era kecerdasan buatan (AI) dan Revolusi Industri 4.0, pendigitalan sistem pengangkutan bukan lagi satu kemewahan, melainkan satu tuntutan ihsan.
Teknologi pintar analitik data dan pemantauan masa nyata yang ingin kita terapkan bukan bertujuan untuk menghukum, tetapi untuk memberi perlindungan yang lebih cekap, pantas dan adil kepada setiap anak bangsa yang berada di atas jalan raya.
Datuk Yang di-Pertua, bila kita bercerita tentang keselamatan jalan raya, kita sedang berbicara tentang hak paling asas rakyat iaitu hak untuk pulang ke rumah dengan selamat. Rang undang-undang yang digubal puluhan tahun ini mesti disirami dengan nilai keprihatinan baharu, selari dengan pemikiran moden dan kecanggihan teknologi pada hari ini.
Mengenai statistik pada tahun 2025, negara kita mencatatkan 6,581 kematian akibat kemalangan jalan raya. Secara purata, 18 nyawa melayang setiap hari. Lebih menyayat hati, 4,267 daripada jumlah itu iaitu 65 peratus adalah penunggang dan pembonceng basikal.
Datuk Yang di-Pertua, 18 nyawa sehari ini bukanlah satu angka pada helaian kertas.
Mereka adalah bapa yang mencari rezeki untuk keluarga. Anak-anak muda yang menjadi harapan ibu bapa dan para penghantar makanan yang bertarung nyawa demi mencari sesuap nasi.
Setiap kali angka ini meningkat, di mana ada isteri yang menjadi balu, anak yang menjadi yatim sekelip mata dan ada ibu bapa meraung meratapi kehilangan insan tersayang. Rasa ihsan dan empati mendalam inilah yang menuntut kita bertindak tegas pada hari ini.
Dato’ Yang di-Pertua, atas dasar kasih dan sayang kepada nyawa rakyat yang tidak berdosa, saya menyokong penuh pindaan terhadap seksyen 42 untuk memperketatkan tindakan terhadap pelumba haram dan pemanduan berbahaya. Kita menegaskan bahawa ketegasan ini bukan kerana benci kepada si pelaku, tetapi kerana kita sangat menyayangi nyawa orang awam yang mungkin menjadi korban ketidakbertanggungjawaban di jalan raya.
Namun, di manakah peranan teknologi dalam memanusiakan penguatkuasaan ini? Saya ingin bertanya kepada pihak kementerian. Sejauh manakah kesediaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk memanfaatkan kecerdasan buatan (AI), kamera AI, automatic number plate recognition (ANPR) dan analisis video pintar bukan sahaja memudahkan penguatkuasaan, tetapi memerlukan anggota bertarung nyawa di bawah terik matahari atau hujan lelah di lapangan, tetapi apa yang penting, ia memberi mesej kesedaran berterusan. Penguatkuasaan berasaskan AI ini adalah bentuk penguatkuasaan yang adil, telus, berterusan dan bebas daripada prasangka.
Datuk Yang di-Pertua, mengenai cadangan pelucuthakkan dan pelupusan kenderaan yang diubahsuai secara ekstrem di bawah seksyen 42. Saya menyokongnya bukan kerana niat mahu menganiaya atau memusnahkan harta benda rakyat, tetapi sebagai satu langkah pencegahan yang mendidik. Kita mahu memberi pengajaran yang tegas agar kenderaan yang berbahaya ini tidak lagi menjadi senjata yang boleh meragut nyawa sesiapa sahaja di jalan raya.
Namun begitu Datuk Yang di-Pertua, sebagai seorang pemimpin, kita tidak boleh sekadar menghukum tanpa memberi jalan keluar. Kita perlu berihsan kepada anak-anak muda. Ramai antara mereka yang terlibat dalam budaya lumba haram ini sebenarnya mempunyai keahlian, minat dan keberanian yang luar biasa dalam dunia permotoran.
Tugas kita sebagai pentadbir bukan untuk memadamkan impian dan passion mereka, tetapi memimpin, membimbing dan meletakkan mereka berada di landasan yang betul. Sebab itu saya menggesa Kementerian Pengangkutan bekerjasama rapat dengan Kementerian Belia dan Sukan, kerajaan-kerajaan negeri serta sektor swasta. Sediakanlah mereka litar rasmi yang selamat. Wujudkan akademi sukan permotoran dan sediakan program latihan yang profesional.
Bimbingilah anak-anak ini, tukarkan lah keghairahan jalanan mereka menjadi kebanggaan negara di litar antarabangsa. Inilah pendekatan bernilai ihsan, di mana penguatkuasaan undang- undang digandingkan secara seimbang dengan pembangunan sahsiah, bakat dan kasih sayang seorang pemimpin kepada generasi mudanya.
Datuk Yang di-Pertua, secara keseluruhan, saya berdiri teguh menyokong Rang Undang- undang Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2026 ini. Undang-undang yang baik adalah undang- undang yang punyai jiwa. Keberkesanannya tidak ditukar ganti dengan beratnya hukuman semata-mata, tetapi terletak kepada keberkesanan penguatkuasaan berteraskan teknologi pendidikan keselamatan yang konsisten serta penyediaan ruang alternatif yang membina untuk rakyat.
Dengan gabungan ketegasan undang-undang, keahlian teknologi moden dan saya rasa ihsan yang mendalam terhadap setiap nyawa rakyat Malaysia, saya yakin kita mampu melahirkan sistem pengangkutan yang selamat, moden dan bertaraf dunia. Dengan itu, saya menyokong penuh Rang Undang-undang Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2026 ini. Sekian, terima kasih.
Datuk Dr. Haji Mustafa bin Musa
Terima kasih Yang Berhormat Senator Datuk Anna Bell dan sekarang saya menjemput Yang Berhormat Senator Puan Tiew Way Keng untuk mengambil bahagian dalam perbahasan petang ini. Dipersilakan Yang Berhormat Senator.
Puan Tiew Way Keng
Terima kasih Datuk Yang di-Pertua. Terlebih dahulu, saya ucapkan tahniah kepada Datuk Yang di-Pertua telah dilantik untuk jadi Speaker pada sesi petang ini.
Datuk Dr. Haji Mustafa bin Musa
Baik.
Puan Tiew Way Keng
Dan bagi— kita katakan beri ruang kepada saya turut mengambil bahagian dalam perbahasan Rang Undang-undang Akta Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2026 ini.
Saya bangun untuk menyokong RUU ini secara prinsip, khususnya usaha baik kerajaan memperkukuh kuasa pengawalseliaan dan penguatkuasaan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 ini. Matlamat tersebut juga dinyatakan dengan jelas dan huraian undang-undang ini dalam buku biru yang kita ada.
Namun demikian Tuan Yang di-Pertua, kita tidak boleh melihat pindaan ini hanya sebagai pindaan untuk menaikkan denda, menambah kesalahan dan memperluaskan kuasa pegawai.
Persoalan yang lebih besar ialah adakah pindaan ini benar-benar mampu mengurangkan kematian di jalan raya?
Puan Tiew Way Keng
Mengikut statistik pada tahun 2025, negara merekodkan 6,581 kematian jalan raya.
Daripada jumlah itu, seramai 4,267 orang ataupun 65 peratus merupakan penunggang motosikal.
Ini bermakna secara purata, lebih daripada 11 penunggang motosikal kehilangan nyawa setiap hari. Pihak berkuasa turut memaklumkan bahawa keseluruhan kematian jalan raya lazimnya berada pada kadar 10 hingga 15 orang sehari dan boleh meningkat kepada 20 hingga 25 orang ketika musim perayaan. Angka ini bukan sekadar statistik, setiap angka merupakan seorang anak, ibu, bapa, suami, isteri atau pencari nafkah yang tidak dapat pulang ke rumah lagi.
Saya menyambut baik pengenalan seksyen baharu 42A yang menjadikan perbuatan berlumba serta menduga kelajuan di jalan raya sebagai kesalahan khusus. Bagi kesalahan pertama, pesalah boleh didenda antara RM2,000 hingga RM10,000 atau dipenjarakan sehingga dua tahun.
Bagi sabitan berikutnya, hukuman boleh meningkat kepada denda antara RM5,000 hingga RM20,000 atau penjara sehingga lima tahun. Pindaan ini penting kerana selama ini, pihak berkuasa terpaksa bergantung kepada peruntukan pemanduan melulu atau berbahaya dan membuktikan unsur bahaya tertentu. Melalui seksyen 42A ini, tindakan boleh diambil terhadap perbuatan berlumba itu sendiri tanpa perlu menunggu sehingga berlakunya kemalangan, kecederaan atau kematian.
Isu ini masih serius. Sehingga pertengahan Julai 2026, seramai 171 orang telah ditangkap dalam 79 operasi membanteras lumba haram. Antara Januari hingga Mei 2026, sebanyak 972 motosikal telah disita. Sepanjang tahun 2025 pula, seramai 290 pelumba haram ditangkap dan 1,766 motosikal telah disita.
Namun, saya ingin bertanya kepada Yang Berhormat Menteri, adakah tindakan hanya akan tertumpu kepada individual yang memandu atau menunggang? Bagaimana pula dengan pihak yang menganjurkan perlumbaan, mengutip pertaruhan, menutup jalan, menyediakan kenderaan, mengubah suai kenderaan secara ekstrem atau menggunakan media sosial untuk mengatur lokasi perlumbaan?
Saya mencadangkan supaya diwujudkan satu prosedur khusus bagi membolehkan kenderaan yang diubahsuai secara ekstrem untuk lumba haram dilucut hak selepas sabitan dan melalui proses kehakiman yang wajar. Lesen pesalah digantung secara automatik untuk tempoh yang munasabah, pesalah diwajibkan mengikuti program pemulihan keselamatan jalan raya dan khidmat masyarakat dan tindakan diambil terhadap penganjur, pembiaya serta pihak yang membantu perlumbaan haram. Hukuman penjara semata-mata tidak akan memutuskan ekosistem lumba haram jika penganjur dan rangkaian yang mendapat keuntungan tidak disentuh.
Saya turut menyokong usaha memperkenalkan seksyen baru iaitu 110B untuk membanteras pihak yang menghalang, mengganggu, menyerang, mengancam atau mengekori pegawai penguat kuasa serta menyebarkan maklumat mengenai aktiviti penguatkuasaan.
Kesalahan ini membawa hukuman berat iaitu denda antara RM10,000 hingga RM50,000 atau penjara antara satu hingga lima tahun atau kedua-duanya. Ia juga diklasifikasikan sebagai kesalahan yang boleh tangkap. Keperluan peruntukan ini memang nyata. Pada Februari 2026, Menteri Pengangkutan mendedahkan bahawa kebocoran maklumat dari dalam JPJ telah menjejaskan operasi terhadap lori lebih muatan.
Pada bulan Mei 2026 pula, JPJ mengesan penggunaan pelekat khas oleh pengusaha lori yang menjadi pelanggan kumpulan tonto supaya mereka dapat dikenal pasti dan diberi amaran untuk mengelakkan operasi penguatkuasaan.
Namun, saya mempunyai kebimbangan dari sudut penggubalan undang-undang.
Perkataan ‘menyebarkan maklumat mengenai apa-apa aktiviti pegawai’ adalah amat luas. Tanpa unsur niat yang jelas, adakah seorang wartawan, pengguna jalan raya, Wakil Rakyat atau orang awam yang memuat naik gambar operasi penguatkuasaan boleh disiasat? Bagaimana pula dengan seseorang yang merakam video tindakan pegawai kerana mempercayai berlaku kemungkinan satu salah guna kuasa telah sedang berlaku? Bagaimana dengan pemberi maklumat yang membuat pendedahan demi kepentingan awam?
Saya mencadangkan supaya Menteri memberikan jaminan yang jelas bahawa kesalahan ini hanya terpakai apabila seseorang dengan sengajanya menyebarkan maklumat bagi membantu pihak lain mengelakkan daripada tindakan penguatkuasaan, menjejaskan sesuatu operasi atau melindungi sesuatu pelanggaran undang-undang. Perlu juga ada perlindungan bagi pelaporan kewartawanan, aduan kepada pihak berkuasa, pendedahan salah laku secara suci hati serta penyampaian maklumat bagi tujuan keselamatan awam. Kita mahu menangkap tonto bukannya menakutkan rakyat daripada memantau integriti penguatkuasaan.
Saya menyokong penyampaian notis secara elektronik. Ini selaras dengan penggunaan aplikasi MyJPJ dan usaha mengurangkan kebergantungan kepada dokumen fizikal. Namun, pindaan kepada seksyen 118, memperuntukkan bahawa notis elektronik dianggap telah disampaikan sebaik sahaja mesej itu memasuki sistem pemprosesan maklumat yang didaftarkan kepada seseorang. Persoalannya ialah apakah yang berlaku sekiranya nombor telefon seseorang telah berubah ataupun akaun tidak lagi aktif, telefon telah hilang, pengguna warga emas yang tidak mahir menggunakan aplikasi ataupun sistem mengalami gangguan teknikal?
Seseorang tidak sepatutnya kehilangan hak untuk membuat rayuan, hak untuk didengar, membayar kompaun atau menjawab pertuduhan hanya kerana notis secara teknikal telah memasuki sistem walaupun tidak pernah dilihat olehnya. Saya mencadangkan penyampaian melalui sekurang-kurangnya dua saluran. Contohnya, melalui aplikasi dan SMS atau e-mel.
Sistem juga hendaklah merekodkan penghantaran, penerimaan dan pembukaan notis.
Mekanisme mudah hendaklah diwujudkan untuk seseorang memohon lanjutan masa apabila dapat membuktikan bahawa notis tidak diterima atas sebab yang munasabah.
RUU ini menaikkan pelbagai kadar denda dan kompaun termasuk kompaun maksimum daripada RM300 kepada RM500. Saya tidak menolak kenaikan tersebut, tetapi keberkesanan penguatkuasaan bukan hanya bergantung kepada jumlah denda. Pesalah lebih takut kepada kepastian bahawa mereka akan ditangkap berbanding ancaman hukuman yang berat, tetapi jarang dikuatkuasakan. Saya juga ingin menarik perhatian kepada pindaan seksyen 16 yang berkaitan dengan kawasan diisytiharkan. Kegagalan membayar perbezaan fi lesen kenderaan motor boleh membawa denda tidak kurang daripada lima kali ganda perbezaan fi atau penjara sehingga lima tahun.
Saya ingin mohon Menteri menjelaskan, adakah hukuman penjara sehingga lima tahun akan terpakai kepada semua kegagalan membayar termasuk kesilapan pentadbiran ataupun ketidakfahaman ataupun hanya kepada pengelakan fi yang dilakukan secara sengaja ataupun fraud? Pada pandangan saya, unsur seperti dengan sengaja secara fraud atau dengan niat mengelakkan pembayaran perlu dinyatakan dengan jelas. Kesilapan pentadbiran tidak boleh disamakan dengan penipuan yang terancang.
Pada tahun 2025 menunjukkan 34 kemalangan direkodkan di kawasan di sekitar Pelabuhan Klang. Daripada itu, 16 melibatkan lori dan 13 melibatkan motosikal. Antara punca yang dikenal pasti termasuk gagal mengawal kenderaan dan selainnya. Ini menunjukkan bahawa kita tidak boleh hanya menyalahkan pemandu. Maka oleh sebab kesuntukan masa, Datuk Yang di-Pertua, saya memohon supaya Menteri untuk melihat dan mengambil berat cadangan- cadangan disyorkan dan saya dengan ini menyokong. Terima kasih.
Datuk Dr. Haji Mustafa bin Musa
Terima kasih, Yang Berhormat Senator Puan Tiew Way Keng dan sekarang saya mempersilakan Yang Berhormat Senator Tuan Abun untuk mengambil bahagian dalam perbahasan pada petang ini. Dipersilakan Yang Berhormat.
Tuan Abun Sui Anyit
Terima kasih, Datuk Yang di-Pertua. Saya bangun menyokong Rang Undang-undang Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2026 yang bertujuan memperkukuh aspek pengawalseliaan penguatkuasaan dan juga keselamatan jalan raya di negara kita. Pindaan ini amat penting kerana memperkenalkan beberapa langkah yang lebih tegas terhadap kesalahan lalu lintas termasuk perlumbaan haram, pemalsuan maklumat, pengkhususan lesen secara elektronik serta peningkatan kadar penalti bagi memastikan pematuhan undang-undang yang lebih berkesan.
Tuan Abun Sui Anyit
Walau bagaimanapun Dato' Yang di-Pertua, keselamatan jalan raya bukan hanya bergantung kepada rang undang-undang ataupun undang-undang yang lebih ketat atau hukuman yang lebih berat, keselamatan jalan raya juga bergantung kepada satu perkara yang paling asas iaitu kewujudan jalan raya yang selamat dan berkualiti.
Di Sarawak khususnya, di kawasan pedalaman seperti Belaga, inilah cabaran sebenar yang masih dihadapi oleh rakyat. Ramai penduduk masih bergantung kepada jalan balak, jalan ladang dan jalan tanah yang sempit, berlubang serta rosak teruk. Apabila musim hujan kadang- kadang jalan ini bertukar menjadi licin, berlumpur dan hampir tidak boleh dilalui. Risiko kemalangan bukan lagi kemungkinan, tetapi satu realiti harian yang terpaksa dihadapi oleh penduduk.
Dato' Yang di-Pertua, izinkan saya berkongsi pengalaman. Baru-baru ini iaitu pada 31 Mei 2026, di mana saya melalui Jalan Sangan ke Merit sejauh lebih kurang 86 kilometer, dari Merit, Punan Ba melalui Kemena dan Jalan Semarakan untuk ke Bintulu, perjalanan yang sepatutnya mengambil masa empat jam berakhir dengan masa lapan jam akibat jalan yang begitu daif dan rosak. Malah dalam perjalanan tersebut, kenderaan yang saya naiki tayar sudah meletup dua kali akibat keadaan jalan raya yang tidak sempurna. Mujurlah sebuah kenderaan dalam rombongan kami mempunyai tayar simpanan. Jika tidak, mungkin kami akan terkandas berjam-jam ataupun berhari di pedalaman yang jauh daripada sebarang bantuan dan tidak ada kemudahan telefon ataupun internet.
Tuan Yang di-Pertua, pengalaman ini bukan pengalaman saya seorang. Inilah pengalaman yang dilalui oleh rakyat pedalaman hampir setiap hari. Kita berada di Dewan yang mulia ini membahaskan pengurusan jalan raya dan pengangkutan jalan, kita bercakap tentang keselamatan pengguna jalan raya, penguatkuasaan undang-undang dan peningkatan hukuman.
Namun, hakikatnya masih ramai rakyat di pedalaman Sarawak belum menikmati hak paling asas iaitu sebuah jalan raya yang selamat untuk digunakan.
Bagaimana kita mahu cakap tentang disiplin pengguna jalan raya sedangkan masih ada rakyat yang terpaksa memandu di atas jalan balak, jalan tanah dan jalan rosak setiap hari.
Bagaimana kita mahu meningkatkan keselamatan jalan raya jika infrastruktur asas itu sendiri masih belum mencukupi. Sebab itu saya berpandangan bahawa penguatkuasaan dan pembangunan infrastruktur hendaklah bergerak seiring.
Justeru, sebagai kerajaan yang berfungsi secara kolektif, saya memohon agar Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kerja Raya, Kementerian Pengangkutan dan khususnya Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) terus bekerjasama rapat dengan Kerajaan Sarawak bagi mempercepat pembinaan serta pengiktirafan jalan-jalan luar bandar dan pedalaman.
Jalan bukan sekadar kemudahan pengangkutan jalan, ia juga menjadi nadi pembangunan. Dengan jalan yang baik, rakyat yang dapat ke sekolah dengan selamat, pesakit dapat di bawa ke hospital dengan lebih cepat, hasil pertanian dapat dipasarkan dengan kos yang lebih rendah dan peluang ekonomi dapat berkembang.
Penduduk di pedalaman Belaga serta kawasan pedalaman lain juga berhak menikmati jalan raya yang selamat, berkualiti dan boleh dilalui sepanjang tahun sama seperti rakyat di kawasan bandar. Ini tahun 2026, sepatutnya jalan-jalan yang saya lalui tadi sudah sepatutnya dinaik taraf kepada jalan yang berturap yang baik.
Tuan Yang di-Pertua, saya berharap penguatkuasaan yang lebih tegas di bawah akta ini dilaksanakan secara adil dengan mengambil kira cabaran geografi Sabah dan Sarawak. Rakyat di pedalaman tidak seharusnya hanya dibebankan dengan pematuhan kepada undang-undang sedangkan kemudahan asas yang sepatutnya disediakan oleh negara masih belum mencukupi.
Akhir sekali, saya sekali lagi menyokong rang undang-undang ini dan saya berharap pelaksanaannya bukan sahaja berjaya meningkatkan disiplin pengguna jalan raya malah menjadi pemangkin kepada pembangunan jaringan jalan raya yang lebih seimbang di seluruh negara khususnya kawasan luar bandar dan pedalaman Sarawak. Selagi masih ada yang mengambil masa lapan jam perjalanan yang sepatutnya hanya dua jam, selagi itulah usaha kita untuk mewujudkan sistem pengangkutan yang benar-benar selamat dan masih adil belum selesai.
[Dato’ Setia Salehuddin bin Saidin **mempengerusikan Mesyuarat****] Saya berharap juga supaya pelaksanaan undang-undang ini tidak dilaksanakan sama rata kepada rakyat pedalaman dan kawasan bandar yang tidak menikmati jalan raya yang baik seperti di bandar dan liputan internet juga tidak menyeluruh sampai ke pedalaman. Akhirnya saya bersetuju dengan kawan saya yang sebelum ini mengatakan iaitu Senator Pele Tinggom mengatakan bahawa pelaksanaan tidak boleh menyeluruh di negara ini kerana internet tidak meluas ke seluruh tempat dalam negara ini terutamanya di pedalaman Sabah dan Sarawak.
Walau bagaimanapun, saya tetap menyokong pindaan ini supaya dengan adanya teknologi digital yang baru masa kini untuk penyelesaiannya adalah dua yang saya katakan tadi mesti jaringan jalan raya yang menyeluruh di seluruh negara ini dan jaringan internet juga mesti menyeluruh di negara ini. Dengan itu Dato' Yang di-Pertua saya mohon menyokong. Terima kasih.
Dato’ Setia Salehuddin bin Saidin
Terima kasih YB Senator Tuan Abun. Seterusnya saya menjemput YB Senator Tan Sri Dato’ Low Kian Chuan. 10 minit ya YB.
Tan Sri Dato’ Low Kian Chuan
Okey terima kasih Yang Berhormat Dato' Setia Yang di- Pertua kerana memberi saya peluang untuk mengambil bahagian dalam perbahasan Rang Undang-undang Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2026 di Dewan yang mulia ini. Saya menyokong pindaan akta ini yang sangat bertepatan dengan usaha kerajaan dalam memperkasakan penguatkuasaan untuk menangani masalah kecuaian pengguna jalan raya dan isu keselamatan jalan raya yang semakin membimbangkan.
Saya ingin menyentuh beberapa perkara yang memerlukan penjelasan dan pertimbangan pihak Kementerian Pengangkutan.
Pertama, memang berpatutan untuk meningkatkan kadar penalti dan kompaun maksimum sehingga RM500 daripada RM300 serta menambah hukuman penjara bagi pesalah yang disabitkan dengan kesalahan serius. Namun, pendidikan dan perubahan tingkah laku pemandu merupakan asas benar bagi menjamin keselamatan jalan raya jangka panjang.
Seterusnya Yang di-Pertua, antara contoh yang jelas adalah tindakan segelintir penunggang motosikal yang melanggar lampu isyarat merah. Perbuatan ini seolah-olah semakin menjadi kebiasaan dan dipandang ringan sehingga ada penunggang yang terus memasuki persimpangan walaupun kenderaan lain telah diberikan laluan melalui lampu isyarat hijau.
Tingkah laku seperti ini bukan sahaja membahayakan diri sendiri, malah turut mengancam keselamatan pengguna jalan raya yang lain. Sehubungan itu, saya ingin mendapatkan penjelasan daripada pihak kerajaan, apakah langkah-langkah yang diambil untuk beralih daripada tindakan menghukum semata-mata kepada membina budaya pemanduan lebih berhemah dan bertanggungjawab serta perubahan sikap dan pencegahan awal. Selain itu, apakah strategi holistik bagi menangani punca utama adalah faktor penyumbang kepada kegiatan lumba haram.
Kedua, berkenaan dengan isu saman trafik. Saya ambil maklum bahawa terdapat insentif bayaran awal dengan kadar lebih rendah.
■1630 Namun begitu, saya mencadangkan agar JPJ dan PDRM mempertimbangkan mekanisme pembayaran ansuran yang lebih sistematik iaitu daripada kebergantungan kepada kempen diskaun berkala supaya boleh membantu golongan yang terbeban dengan tunggakan saman yang besar. Pendekatan ini bukan sahaja lebih realistik, tetapi juga boleh meningkatkan kadar kutipan tanpa menjejaskan prinsip penguatkuasaan.
Di samping itu, saya juga ingin mendapatkan penjelasan sama ada skim ganjaran kepada pemberi maklumat yang telah diumumkan olek kerajaan dalam Bajet 2021 turut terpakai bagi kesalahan di bawah akta ini?
Ketiga, saya ingin menyentuh mengenai isu pemandu bawah umur. Walaupun undang- undang sedia ada memperuntukkan tindakan terhadap kesalahan ini, realitinya masih terdapat fenomena pemandu bawah umur khususnya melibatkan motosikal sama ada di kawasan bandar mahupun luar bandar. Ini menimbulkan persoalan sama ada rangka perundangan sedia ada mencukupi atau masih terdapat kelompongan dari segi keberkesanan penguatkuasaan. Dengan hal ini, saya ingin bertanya sama ada kerajaan mempertimbangkan pendekatan yang lebih keras dan tegas terhadap tanggungan ibu bapa atau penjaga termasuk elemen tanggungjawab bersama yang lebih efektif supaya aspek pematuhan tidak terlalu longgar.
Keempat, saya ingin menyentuh isu dan persoalan berkaitan dengan sistem mata demerit.
Pengumpulan mata demerit di bawah Sistem KEJARA, JPJ boleh menyebabkan lesen memandu digantung atau dibatalkan. Dalam masa yang sama, saya juga memahami bahawa di bawah Kod Amalan Industri (ICOP) yang tertakluk kepada Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 [Akta 715] terdapat juga sistem mata demerit yang memberi kesan kepada lesen operasi kenderaan dan syarikat.
Walaupun pendekatan ini secara prinsipnya adalah baik, mendapat maklum balas daripada pihak industri logistik bahawa pelaksanaan sistem penilaian ini masih menimbulkan beberapa isu.
Pertama, ketidakseragaman dalam penilaian di antara semua agensi penguatkuasaan.
Kedua, kaedah pemarkahan yang kurang praktikal dan sukar dilaksanakan dalam keadaan sebenar.
Ketiga, ketiadaan standard industri bersama menyukarkan syarikat logistik untuk menyelaraskan operasi pematuhan mereka sekali gus meningkatkan kos operasi.
Sehubungan itu, saya mencadangkan agar Kementerian Pengangkutan mengadakan sesi libat urus yang lebih menyeluruh bersama penggiat industri serta pakar berkaitan bagi menerangkan isu berbangkit. Langkah proaktif ini akan memastikan pelaksanaan sistem yang berkesan dan praktikal tanpa membebankan kelangsungan perniagaan serta operasi harian industri.
Akhir sekali, Dato’ Setia Yang di-Pertua, saya menyokong pindaan Akta 333 sebagai langkah proaktif untuk memperkukuh keselamatan jalan raya terutamanya membanteras kesalahan jalan raya yang serius. Sekian, terima kasih.
Dato’ Setia Salehuddin bin Saidin
Terima kasih Yang berhormat Senator Tan Sri Dato’ Low. Seterusnya saya menjemput YB Senator Dato' Ng Keng Heng.
Dato' Ng Keng Heng
Salam sejahtera dan terima kasih kepada Dato’ Yang di-Pertua kerana memberikan peluang kepada saya untuk mengambil bahagian dalam perbahasan Pindaan Rang Undang-undang Akta Pengangkutan Jalan yang dibentangkan oleh Menteri Pengangkutan Jalan di Dewan Rakyat pada 24 Jun yang lalu.
Sebagai seorang Senator yang mempunyai pengkhususan dalam perihal sektor pengangkutan, saya amat memahami dinamika dan cabaran pengurusan keselamatan jalan raya serta mengawal selia dan ekosistem kenderaan di Malaysia. Kita sedang bercakap tentang dua akta induk iaitu Akta 333 yang telah berusia hampir empat dekad. Perubahan landskap mobiliti hari ini dengan kewujudan kenderaan elektrik iaitu EV, mikro mobiliti dan sistem penguatkuasaan pintar memerlukan pindaan yang progresif.
Secara umumnya, saya menyokong usaha kerajaan untuk menaik taraf aspek penguatkuasaan, menangani isu pemandu mabuk, membanteras sindiket jenayah dan memerangi lumba haram. Namun begitu, apabila diteliti naskhah pindaan ini, saya mendapati wujudnya beberapa peruntukan yang tidak seimbang, kelompangan serta dasar yang berisiko menzalimi rakyat miskin dan peniaga kecil di lapangan jika tidak diperbetulkan.
Dato’ Yang di-Pertua, isu yang pertama. Melalui siri pindaan di dalam RUU ini, kerajaan mencadangkan peningkatan denda maksimum daripada RM300 sehingga kepada RM500 bagi 20 kategori kesalahan am iaitu had laju, kesalahan pentadbiran biasa. Persoalan saya, apakah justifikasi empirikal di sebalik kenaikan— dengan izin, iaitu kompaun sebanyak 66.6 peratus ini?
Pada fikiran saya, dengan menetapkan denda minimum setinggi RM500 bagi kesalahan- kesalahan pentadbiran kecil adalah satu tindakan yang keterlaluan. Melainkan denda minimum dikenakan khusus terhadap kes-kes yang membahayakan pemandu lain seperti melibatkan melanggar lampu isyarat dan melebihi had laju. Walaupun rakan saya YB Haji Hussin sebut tadi had laju di highway kita 110 itu tidak mencukupi, tetapi di Malaysia, jika pakar jalan raya seperti MIROS— M.I.R.O.S di bawah Kementerian Pengangkutan, mereka adalah pakar pengangkutan, jadi kita harus mendengar dari nasihat pengangkutan atau kaji selidik daripada pihak tertentu, itu pandangan saya.
Dan, berdasarkan interaksi saya dengan masyarakat seperti di Johor, rakyat biasa seperti pekebun kecil, petani, penoreh getah, pekerja kilang atau pemandu e-hailing memerlukan bekerja sedaya upaya atau bekerja bersungguh-sungguh untuk mendapatkan RM500 sebulan.
Saya sendiri pernah mendengar aduan dari seorang kenalan saya yang kecewa dengan sistem kerajaan apabila lesen beliau tidak dapat diperbaharui kerana didapati tidak membayar kompaun yang disabit. Rupa-rupanya, difahamkan beliau tersabit atas kesalahan nombor plat motosikalnya yang rosak menyebabkan beliau berdepan situasi termasuk situasi lesen yang sah laku, termasuk cermin pandu belakang patah menyebabkan beliau di kompaun. Dan, apabila di jumpa kesalahan ketiga dalam satu motosikal, amaun itu telah menyebabkan lebih seribu.
Dato' Ng Keng Heng
Itulah satu penyebab yang tempoh sah lesennya sudah luput, tetapi tidak berjaya diperbaharui. Selain itu, jika seorang pesara terlupa memperbaharui lesen memandu kerana kekangan kewangan atau seorang petani yang menunggang motosikal usang dengan nombor plat yang bergegar dan diikat dawai dituduh di bawah seksyen 14, Majistret di mahkamah tiada pilihan lain selain mengenakan denda minimum RM500.
Dato’ Yang di-Pertua, saya mencadangkan agar frasa tidak kurang daripada RM300 dikekalkan atau ditukarkan kepada tidak melebihi RM500 untuk 20 kesalahan bagi memberikan peluang.
Tuan Niran Tan Kran
Boleh mencelah, boleh mencelah? Minta kebenaran mencelah.
Dato’ Setia Salehuddin bin Saidin
Ya, sila.
Tuan Niran Tan Kran
Saya perhatikan semasa saya bertugas di Majistret, kadang- kadang bila kita ada minimum kompaun ia mengehadkan kuasa Majistret untuk menggunakan budi bicara. Jadi ini akan membuat memberi peluang, ruang untuk pegawai penguat kuasa menyeleweng sebenarnya.
Satu kes yang orang minta tanya masa itu, ada kalau ada kes ini di mahkamah berapa, dia kata RM1,000. Saya pun tunggulah kes itu didaftar di mahkamah, tapi tidak didaftarkan. Itu pergi ke mana? Yang kadang-kadang bila ada kes-kes yang ada minimum kuasa ini, kes-kes nampak kurang, tapi saya tidak tahu kerana tidak ada kes ataupun kes itu di-settle di luar mahkamah, tapi ini satu yang kita harus berhati-hati kerana bila kalau kita tengok..
Dato’ Setia Salehuddin bin Saidin
Jadi soalannya YB? Soalannya kepada...
Tuan Niran Tan Kran
Apa pandangan YB, YB Ng.
Dato' Ng Keng Heng
Okey. Saya beri kepada pihak kementerian untuk menyambut pencelahan itu ya. Okey, terima kasih.
Saya teruskan. Ya, saya teruskan dengan— saya mencadangkan agar frasa tidak kurang daripada RM300 itu dikekalkan atau ditukarkan kepada tidak melebihi RM500 untuk 20 kesalahan bagi memberikan ruang budi bicara kepada Majistret menilai latar belakang sosioekonomi pesalah, bukannya menghukum secara melulu.
Dato’ Yang di-Pertua, saya ingin menarik Dewan Negara yang mulia ini kepada frasa 33 dengan pindaan Seksyen 118 yang membolehkan penyampaian notis saman atau kesalahan dibuat dalam bentuk mesej elektronik. Seperti YB-YB dah hujah tadi, seperti Tuan Alias Hamid, kita harus tersedia dahulu infrastruktur sebelum diaktifkan penyampaian mesej elektronik dan YB Tuan Haji Musoddak Ahmad pun berkata, diberikan dua kaedah iaitu secara kiriman fizikal dan elektronik, cuba dipertimbangkan.
Dato’ Yang di-Pertua, seterusnya subseksyen 5 menyatakan notis itu disifatkan telah mutlak disampaikan sebaik saja ia memasuki sistem memproses maklumat yang didaftarkan.
Saya merasakan ini agak menyulitkan terutamanya bagi kawasan-kawasan luar bandar seperti pedalaman Sabah, Sarawak mahupun di Johor masih ada lagi, seperti di kawasan saya, di pedalaman— Kota Tinggi itu contoh-contoh yang jalur lebar tersebut tidak merangkumi di sana.
Bagaimana sekiranya notis tersebut dihantar ke dalam sistem, tetapi rakyat di kampung- kampung langsung tidak menerimanya kerana ketiadaan talian atau keterbatasan liputan? Tiba- tiba apabila mereka mahu memperbaharui cukai jalan, mereka mendapati akaun mereka telah disenaraihitam akibat gagal menjawab notis yang mereka sendiri tidak pernah lihat. Pendigitalan sepatutnya memudahkan rakyat, bukan menjadi perangkap digital. Saya menggesa agar peruntukan ini diselaraskan dengan keperluan notis fizikal sekiranya tiada pengesahan penerimaan digital secara aktif daripada pengguna.
Tuan Yang di-Pertua, yang akhir sekali, perkara ketiga, saya mahu menyentuh berkenaan kesalahan berlumba atau dugaan kelajuan di bawah Seksyen 42A baharu. Mengapa RUU ini hanya menghukum pemain di jalan, iaitu pelumba haram dan joki, tetapi langsung tidak menyentuh jerung di sebalik bill. Dimanakah peruntukan untuk menghukum penganjur lumba haram? Manakah tindakan tegas terhadap sindiket pertaruhan wang haram yang mengaut keuntungan daripada pertaruhan nyawa anak-anak muda itu?
Saya mencadangkan bahawa kerajaan perlu meletakkan liabiliti jenayah yang setara kepada penganjur dan pemilik premis bengkel yang melakukan pengubahsuaian haram ekstrem untuk lumba haram.
Akhir sekali mengenai pemandu mabuk di bawah pengaruh dadah. Walaupun Akta 333 telah dipinda dengan tegas pada tahun 2020, kes kemalangan maut pemandu mabuk masih menunjukkan peningkatan. Saya menyokong ucapan yang diutarakan oleh Che Alias tadi ke atas cadangan pampasan mandatori dan sebagainya terhadap keluarga mangsa yang kehilangan tempat bergantung akibat dilanggar pemandu mabuk.
Justeru, saya mendesak cadangan pampasan mandatori dimasukkan ke dalam pindaan kali ini. Saya menegaskan bahawa kita memerlukan undang-undang yang kuat untuk mendidik bukan sekadar menghukum atau mengorek poket rakyat marhaen. Saya menyokong bahagian besar RUU ini namun mendesak agar aspek denda dan semak imbang kuasa penguatkuasaan diperincikan semula demi keadilan sosial rakyat Malaysia. Sekian, terima kasih.
Dato’ Setia Salehuddin bin Saidin
Terima kasih YB Senator Dato' Ng. Seterusnya saya menjemput YB Senator Dato' Wu Him Ven.
Dato' Wu Him Ven
Tuan Yang di-Pertua, saya bangun untuk menyokong Rang Undang- undang Pengangkutan Jalan ini. Antara pindaan yang penting ialah perwujudan seksyen 42A, bagi menangani kegiatan perlumbaan haram secara lebih tegas dan berkesan. Sebelum ini tindakan penguatkuasaan sering berdepan kesukaran apabila perlumbaan haram berjaya dihentikan sebelum kemalangan dan atau kecederaan.
Berlaku kenderaan ini mewujudkan sesuatu kelompongan kerana pihak berkuasa perlu membuktikan elemen-elemen kesalahan lain sebelum tindakan yang sewajarnya dapat diambil.
Melalui seksyen 42A, perlumbaan haram kini dijadikan satu kesalahan khusus yang boleh ditangkap.
Ini bermakna pihak polis tidak lagi perlu menunggu sehingga berlaku kemalangan kecederaan ataupun kehilangan nyawa sebelum mengambil tindakan. Pindaan ini membawa mesej yang jelas perlumbaan haram bukan sekadar perbuatan nakal atau pelanggaran trafik biasa yang merupakan perbuatan merbahaya yang mengancam penggunaan jalan raya serta keselamatan masyarakat. Dengan hukuman denda antara RM2,000 hingga RM10,000 atau pemenjaraan sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Dato' Wu Him Ven
Saya berpandangan bahawa pindaan ini adalah munasabah dan diperlukan. Namun begitu, selepas undang-undang diluluskan, kerajaan juga perlu memastikan pihak polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan mempunyai sumber manusia, peralatan serta prosedur operasi yang mencukupi untuk melaksanakannya secara konsisten.
Tuan Yang di-Pertua, kita tidak boleh mengabaikan ancaman pemanduan di bawah pengaruh dadah. Dalam tempoh 2019 hingga 2024, sebanyak 4,048 kemalangan melibatkan kenderaan berat direkodkan dan mengakibatkan 1,457 kematian. Dalam operasi dan pemeriksaan yang dijalankan, 261 pemandu kenderaan berat dikenal pasti positif dadah oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan.
Pada April 2026, sebuah treler merempuh sebuah van di Segamat sehingga mengorbankan tiga orang dan mencederakan beberapa mangsa lain. Saringan awal air kencing mendapati pemandu treler berkenaan positif metamfetamin.
Dalam satu lagi kes di Negeri Sembilan pada September 2024, sebuah lori membawa muatan pasir dilaporkan hilang kawalan sebelum merempuh beberapa kenderaan yang sedang berhenti di lampu isyarat. Seorang wanita maut dalam kejadian itu. Pemandunya yang didapati positif metamfetamin melalui ujian air kencing.
Kes-kes ini menunjukkan bahawa pemanduan di bawah pengaruh dadah bukan ancaman yang bersifat andaian, ia boleh menjejaskan pertimbangan tahap kewaspadaan masa tindak balas serta keupayaan seorang mengawal kenderaan. Apabila kenderaan ini melibatkan lori treler atau kenderaan berat, risiko kepada pengguna jalan raya menjadi jauh lebih besar.
Namun, kita perlu berlaku adil dari sudut undang-undang. Keputusan saringan awal yang positif tidak dengan sendirinya membuktikan bahawa dadah merupakan punca langsung sesatu kemalangan. Perkara itu masih perlu ditentukan melalui ujian pengesahan, penyiasatan lengkap dan proses mahkamah. Oleh itu, kita memerlukan satu sistem pengesahan yang bukan sahaja pantas tapi juga tepat dan boleh dipertahankan dari sudut pembuktian.
Walaupun seksyen 44 dan seksyen 45, Akta 333 telah memperuntukkan kesalahan berkaitan pemanduan di bawah pengaruh dadah, proses pengesahan masih banyak bergantung pada ujian air kencing yang memerlukan masa dan kemudahan tertentu. Malaysia masih belum mempunyai kerangka yang menyeluruh bagi pelaksanaan ujian air liur secara rawak di tepi jalan sebagaimana yang dilaksanakan di beberapa negara seperti Australia dan New Zealand. Ujian air liur bukan pengganti kepada ujian makmal yang lengkap. Namun, ia boleh berfungsi sebagai alat saringan awal yang lebih pantas bagi membantu pihak berkuasa mengenal pasti pemandu yang disyaki berada di bawah pengaruh dadah.
Oleh itu, saya mencadangkan supaya MOT meneliti semula peruntukan seksyen 45A, 45B dan 45C bagi membolehkan:
(i) pengambilan sampel air liur sebagai kaedah saringan awal di tepi jalan;
(ii) penggunaan alat ujian yang diluluskan mempunyai tahap ketepatan yang munasabah serta tertakluk kepada piawaian dan penentukuran berkala;
(iii) ujian pengesahan melalui sampel darah atau air kencing sebelum sesuatu pertuduhan dibuat; dan
(iv) keingkaran tanpa alasan munasabah untuk memberikan sampel yang sah dijadikan satu kesalahan.
Pada masa yang sama, prosedur ini mesti disertai perlindungan undang-undang yang mencukupi. Kerajaan perlu menetapkan tatacara pengambilan sampel, rantaian penjagaan bahan bukti, hak seseorang yang diuji serta kaedah mencabar keputusan ujian yang diragui.
Matlamat kita bukan sekadar melakukan lebih banyak ujian, tetapi memastikan ujian tersebut tepat, adil dan boleh diterima sebagai bukti di mahkamah. Saya mohon menyokong. Sekian, terima kasih.
Dato’ Setia Salehuddin bin Saidin
Terima kasih, YB Senator Dato' Wu. Seterusnya, saya jemput YB Senator Tuan Mohd Hasbie.
Tuan Mohd Hasbie bin Muda
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan selamat petang. Terima kasih Dato’ Yang di-Pertua atas peluang untuk saya turut sama membahaskan RUU Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2026 ini.
Saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada Yang Berhormat Menteri Pengangkutan atas pembentangan RUU ini. Pindaan ini ialah satu langkah yang tepat dan diperlukan dalam usaha memperkukuh keselamatan jalan raya, memodenkan sistem penguatkuasaan serta menyesuaikan undang-undang negara dengan perubahan teknologi dan cabaran mobiliti pada masa kini.
Sebagaimana yang kita tahu, secara puratanya, kematian maut di negara kita ini mencecah 6,000 setahun ataupun secara puratanya 17 ataupun 18 kematian setiap hari.
Maknanya, kalau hari ini kita berbahas, secara puratanya hari ini ada 17 kematian maut. Dan 82 daripada kematian maut ini melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal dan sebahagian besarnya ialah anak muda ataupun belia.
Saya menyambut baik beberapa pendekatan baharu yang diperkenalkan melalui rang undang-undang ini termasuk usaha memperkukuh penguatkuasaan terhadap aktiviti lumba haram, menangani kegiatan tonto, memperluas pendigitalan perkhidmatan JPJ serta meningkatkan keberkesanan pelaksanaan undang-undang. Kesemua ini menunjukkan komitmen berterusan kerajaan untuk memastikan sistem pengangkutan negara menjadi lebih selamat, cekap dan berintegriti.
Tuan Mohd Hasbie bin Muda
Namun, dalam semangat untuk melengkapkan lagi hasrat murni RUU ini, izinkan saya mengemukakan beberapa cadangan penambahbaikan yang saya percaya boleh memperkukuhkan lagi dasar keselamatan jalan raya negara. Pertama, saya ingin menyentuh mengenai mikro mobiliti seperti e-skuter, personal mobility aid (PMA) dan pelbagai bentuk kenderaan mobiliti peribadi yang semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat.
Trend ini akan terus berkembang seiring usaha negara menggalakkan mobiliti hijau dan mengurangkan kebergantungan kepada kenderaan bermotor. Persoalannya, adakah infrastruktur kita bersedia? Pada hari ini, pengguna mikro mobiliti sering berada dalam dilema. Di jalan raya, mereka terdedah dengan risiko dilanggar kenderaan yang lebih besar, manakala di laluan pejalan kaki, mereka berpotensi membahayakan keselamatan pejalan kaki.
Justeru, saya ingin mencadangkan supaya Kementerian Pengangkutan, Kementerian KPKT, kerajaan negeri, PBT mempertimbangkan untuk menyediakan satu pelan induk mikro mobiliti negara yang bukan hanya memberikan tumpuan kepada aspek penguatkuasaan, tetapi juga merangkumi pembangunan infrastruktur yang selamat.
Antara perkara yang boleh di pertimbangkan ialah penyediaan laluan khas mikro mobiliti di kawasan bandar dan pembangunan baharu. Penetapan had kelajuan mengikut zon, standard reka bentuk laluan yang seragam serta garis panduan daripada PBT bagi memastikan pembangunan bandar pada masa hadapan lebih mesra kepada semua bentuk mobiliti.
Saya percaya pendekatan ini akan membolehkan kita mengurus perkembangan teknologi secara proaktif, bukan hanya bertindak selepas kemalangan berlaku. Kemalangan jalan raya bukan sekadar bergantung kepada undang-undang yang baik, tetapi juga kepada infrastruktur yang selamat dan perancangan bandar yang berpandangan jauh.
Kedua, saya juga ingin mencadangkan agar kerajaan memperkukuhkan pendekatan pencegahan melalui pelaksanaan audit keselamatan jalan raya secara lebih menyeluruh, khususnya di lokasi yang kerap merekodkan kemalangan maut atau kecederaan yang serius.
Kita sering memberi tumpuan kepada faktor manusia sebagai punca kemalangan. Namun dalam banyak keadaan, faktor infrastruktur seperti pencahayaan yang tidak mencukupi, reka bentuk persimpangan yang kurang selamat, permukaan jalan yang rosak serta papan tanda yang tidak jelas turut menyumbang kepada risiko kemalangan.
Justeru, saya mencadangkan supaya setiap kawasan yang dikenal pasti sebagai hotspots kemalangan diwajibkan menjalani audit keselamatan secara berkala. Diikuti pelan tindakan yang jelas serta pemantauan sehingga penambahbaikan selesai dilaksanakan. Pendekatan ini akan memastikan kita bukan sekadar bertindak selepas kemalangan berlaku, tetapi berusaha menghapuskan punca kemalangan daripada awal.
Ketiga, memandangkan majoriti kematian akibat jalan raya masih melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal, saya berpandangan bahawa usaha meningkatkan keselamatan golongan ini perlu diberikan keutamaan yang lebih besar. Selain penguatkuasaan, kerajaan boleh mempertimbangkan pembinaan dan peluasan laluan motosikal, khusus di kawasan berisiko tinggi. Menaik taraf penghadang jalan yang lebih mesra penunggang motosikal, membaiki pencahayaan serta meningkatkan aspek keselamatan di persimpangan yang dikenal pasti berbahaya.
Pendekatan ini akan melengkapkan usaha penguatkuasaan yang sedang dilaksanakan kerana keselamatan jalan raya bukan hanya bergantung kepada pematuhan undang-undang, tetapi juga kepada reka bentuk jalan yang mengambil kira keselamatan semua pengguna.
Keempat, saya menyambut baik usaha pendigitalan yang sedang dilaksanakan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan. Pada pandangan saya, langkah ini boleh diperkasakan lagi melalui penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan analisis data raya dalam pengurusan keselamatan jalan raya.
Data daripada kamera AWAS, ANPR, MyJPJ, laporan kemalangan serta aduan awam boleh dianalisis bagi mengenal pasti corak kemalangan, lokasi berisiko tinggi dan tempoh waktu yang memerlukan penguatkuasaan yang lebih tertumpu.
Saya juga ingin memohon penjelasan daripada Yang Berhormat Menteri, sejauh mana keberkesanan pelaksanaan kamera AWAS ini? Sebab saya perasan kalau kita lalu highway, bila kita melalui kamera AWAS ini kenderaan automatik akan perlahan, tapi jumlah kamera itu tak banyak. Saya ingat terhad, mungkin tertumpu kepada kawasan yang selalu ada kemalangan.
Soalan saya, berapakah kos pemasangan kamera ini di satu-satu tempat? Dan kalau sekiranya kos terlalu tinggi, saya cadangkan wujudkan juga kamera yang fake supaya pengguna- pengguna jalan raya ini dia banyak mengurangkan had laju mereka. Kemudian seterusnya, dengan pendekatan yang disebutkan tadi, penguatkuasaan akan menjadi lebih proaktif, lebih bersasar dan berasaskan data.
Pada masa yang sama, ia membantu kerajaan merancang pembangunan infrastruktur serta penempatan aset penguatkuasaan dengan lebih berkesan. Kalau kita merujuk kepada statistik, tapi statistik yang agak outdated. Kalau merujuk kepada kajian pada tahun 2021, kita berada pada tangga yang ke enam dari segi kematian bagi setiap 100,000 penduduk. Kita lebih baik daripada lima negara yang lain, tetapi kita lebih teruk bukan hanya kepada negara maju seperti Singapura, seperti negara-negara kaya seperti Brunei, tetapi prestasi Timur Leste lebih baik daripada kita.
Jadi, adakah kementerian membuat kajian dengan negara-negara yang mencatatkan kadar kematian yang lebih rendah bagi setiap 100,000 penduduk ini supaya kita boleh memahami apa sebenarnya yang mampu untuk membantu kita mengurangkan jumlah kematian maut dalam negara kita?
Saya percaya bahawa kesemua cadangan-cadangan yang disebutkan tadi sedikit sebanyak boleh melengkapkan lagi hasrat RUU ini. Akhirnya, kejayaan dasar keselamatan jalan raya bukan hanya diukur melalui jumlah saman yang dikeluarkan atau tindakan penguatkuasaan yang dilaksanakan, tetapi yang lebih utama ialah sejauh mana kita berjaya mengurangkan kemalangan dan menyelamatkan nyawa rakyat kita. Dato’ Yang di-Pertua, saya mohon menyokong RUU ini. Terima kasih.
Dato’ Setia Salehuddin bin Saidin
Terima kasih Yang Berhormat Senator Tuan Mohd Hasbie. Seterusnya, saya menjemput Yang Berhormat Senator Datuk Dr. Haji Mustafa bin Musa.
Datuk Dr. Haji Mustafa bin Musa
Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan selamat petang. Terima kasih kepada Dato’ Yang di-Pertua atas keizinan kepada saya untuk turut serta dalam membahaskan Rang Undang-undang Akta Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2026 yang memperkukuhkan tindakan ke atas kes perlumbaan haram atau menguji prestasi kelajuan di jalan raya dan meningkatkan penguatkuasaan dan kompaun kesalahan Akta Pengangkutan Jalan 2026.
Tuan Yang di-Pertua, pindaan ini secara totalnya, tujuan memperkukuhkan kuasa pengawal seliaan dan penguatkuasaan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 ataupun Akta 333. Hukuman lebih berat kepada pemandu yang memandu ketika lesen digantung mencapai ke tiga tahun ataupun denda antara RM3,000 ke RM10,000.
Berlumba di jalan raya menjadi kesalahan yang utama dan boleh di denda serta hukuman penjara lebih kurang dua tahun. Kuasa penguatkuasaan ini tidak lain dan tidak bukan adalah bertujuan untuk memastikan segala peraturan dan juga kematian yang sia-sia di jalan raya dapat kita atasi.
Tuan Yang di-Pertua, saya menyambut baik rang undang-undang ini kerana dia mencerminkan kesungguhan kementerian dan kerajaan dalam memperkukuhkan keselamatan jalan raya serta membendung kegiatan perlumbaan haram dan kes menguji prestasi kelajuan yang semakin membimbangkan.
Setiap tahun kita dikejutkan dengan pelbagai kemalangan yang ngeri dan tragis. Episod- episod luka ini mungkin kita boleh lupakan dengan sekelip mata, tetapi tragedi berdarah dan kemalangan yang membawa maut ini merupakan titik hitam yang tak mungkin dilupakan oleh mangsa, keluarga mangsa yang kehilangan anak, kehilangan isteri, kehilangan suami, kehilangan ayah. Segala-galanya akan menjadi nostalgia paling pilu dalam sejarah kehidupan kita. Lebih-lebih lagi, mereka tidak bersalah dan mereka menjadi mangsa kepada perbuatan tidak bertanggungjawab pembunuh-pembunuh di lebuh raya dan di jalan raya.
Dato’ Yang di-Pertua, justeru pindaan ini amat tepat pada masanya bagi memastikan hukuman yang dikenakan benar-benar memberi kesan pencegahan kepada mereka yang masih memandang ringan dan tidak menghormati undang-undang.
Dato’ Yang di-Pertua, kejadian lumba haram dan menguji prestasi kenderaan bukan sahaja berlaku di kampung, di taman, di lebuh raya, di jalan kampung, di jalan perbandaran, tetapi juga lebih dahsyat berlaku di Lebuh-lebuhraya Persekutuan.
Datuk Dr. Haji Mustafa bin Musa
Kegiatan ini mengingatkan saya pada lagu— kalau tuan-tuan yang membesar seusia saya bolehlah tuan-tuan dapatkan dari Google. Lagu yang menyayat hati yang berjudul Pusara di Lebuhraya, Ekamatra. Kalau ada muzik saya boleh nyanyikan, tetapi tak ada muzik saya tak boleh nyanyi. Lagu itu mengatakan dalam perjalanan ini pelbagai kejadian ditempuhi, tetapi cintanya berakhir dan berpusara di lebuh raya. Lirik ini dicipta oleh seorang yang telah merasai kehilangan, Dato' Yang di-Pertua. Yang telah merasai sebuah derita dan air mata kerana mereka kehilangan insan penyelamat jiwa dan nyawa— anak. Lantas lagu itu diabadikan.
Kalau balik dalam perjalanan nanti, minta tuan-tuan dengarlah lagu Ekamatra, Pusara di Lebuhraya. Namun yang tinggal adalah kesedihan kepada mangsa dan keluarganya. Kepada mereka yang melakukannya terus mendabik dada, lepas dan bebas tanpa tindakan.
Tuan-tuan dan puan-puan dan Tuan Yang di-Pertua, masalah ini bukan sahaja melibatkan merempit motosikal, tetapi fokus penguatkuasaan ini juga perlu kepada lumba haram kereta- kereta mewah. Kereta mewah yang memecut laju sering terlepas, tetapi kita sedih seperti rakan saya tadi Dato’ Ng mengatakan motosikal yang plat nombornya diikat dengan dawai diambil tindakan. Di mana keadilan dan harga sebuah nyawa kalau undang-undang sekadar undang- undang untuk pihak tertentu dan penguatkuasaan pula terpilih-pilih hingga orang yang tidak ada saluran utama ataupun saluran kayangan meringkuk di penjara sedangkan mereka adalah mangsa kepada pelumba-pelumba mewah dan pelumba-pelumba haram.
Jarang sekali saya mendengar pemilik kereta Ferrari misalnya yang dilucutkan hak, yang diambil tindakan walaupun tuan-tuan saban minggu saya berulang di lebuh raya, saya lihat kereta-kereta ini bernombor pendaftaran dari negara jiran. Apakah negara jiran mempunyai kekebalan? Apakah anak tuan-puan mati kehausan dan kera di hutan kita susukan? Rakyat meneliti peraturan ini.
Kita jarang dengar, saya ingin mencadangkan supaya kenderaan mewah ini bukan sekadar disaman atau disita, tetapi ditambah peruntukan bagi negara-negara luar yang membuat onar di jalan raya kita rampas dan lucut hak rakyat mereka, kereta mereka supaya ini menjadi pengajaran. Sebab ada kawan saya kata, lepas sahaja Tambak Johor, kita pecut kerana di negara mereka ada undang-undang yang tegas. Mereka memperkotak-katikkan undang-undang kita, maruah kita yang lebih penting nyawa rakyat kita.
Tuan Yang di-Pertua, konvoi berkelajuan tinggi saban hari, saban minggu, baik kereta ataupun motor. Justeru peraturan yang lebih ketat ke arah itu perlu dikuatkuasakan bukannya terpilih-pilih. Oleh itu saya ingin mendapatkan kepastian daripada pihak kementerian khususnya JPJ. Bagaimana tegas dan efektifnya tindakan yang telah kita jalankan kepada konvoi super car atau motosikal berkuasa tinggi dan kenderaan-kenderaan mewah?
Adakah kita telah mengambil tindakan tegas dan tolong maklumkan kepada rakyat bahawa undang-undang ini tidak terpilih-pilih dan tidak ada yang menjadi mangsa di atas tindakan-tindakan tidak bermaruah dan tidak berintegriti, rundingan-rundingan ataupun orang- orang ternama yang boleh menutup kesalahan kerana rakyat di bawah melihat dan ada keraguan sebab tindakan-tindakan kepada ikan paus dan jerung terlalu jarang kita lakukan.
Oleh itu saya harap supaya dapat diambil pembentangan khususnya yang melibatkan tindakan ataupun kemalangan maut. Dan saya juga ingin pastikan apakah aplikasi MyJPJ dilaksanakan sejak tahun 2023? Kesannya, tak ada penerimaan dan keberkesanan, tak ada penguatkuasaan undang-undang di jalan raya.
Tuan Yang di-Pertua, saya bercerita dengan seorang golongan tua dan veteran yang hanya mempunyai skuter, motosikal lama. Ia ditahan dan disaman kerana tidak boleh menunjukkan bukti bahawa dia telah pun membayar Cukai Jalan kerana Cukai Jalan sekarang sudah tidak lagi berpelekat. Jangankan kata orang tua, orang muda pun sering terlupa kerana tidak lagi ditampal. Adakah tindakan menampal dan mengingatkan kita itu adalah tindakan ke terbelakang untuk kita mengejar kemajuan sehingga yang memudahkan rakyat terutamanya kampung dan golongan tidak pandai terhadap media nak cari, kadang-kadang JPJ nak check, berbaris kereta disebabkan tak ada capaian internet di tempat itu dan orang itu pula tak tahu.
Maka sepatutnya dah lepas 20 kereta, tetapi baru lepas lima sahaja.
Dan adakah pandangan saya bahawa, adakah kemungkinan kementerian atau JPJ boleh mengembalikan pelekat kenderaan untuk memudahkan orang-orang kampung, petani dan nelayan yang tak menguasai peranti.
Dato' Yang di-Pertua, saya juga ingin kepastian tentang masalah yang kita dapat daripada pindaan akta ini. Hari ini inisiatif MyJPJ Digital telah menyebabkan penguatkuasaan dan bantuan orang awam kepada penguat kuasa PDRM, trafik dan JPJ dikatakan lebih baik dan efisien.
Sejauh manakah kebenaran kerana masih banyak rungutan-rungutan di bawah sana yang mengatakan masih belum lagi dapat dilaksanakan dengan baik.
Akhir dua kalam saya mohon sedikit waktu untuk mencadangkan beberapa perkara. Bagi kami undang-undang dan ketegasan bukanlah faktor utama yang akan merubah budaya, sikap dan nilai masyarakat. Buatlah undang-undang, apakah kita tidak ada hukuman mati kepada pembunuh, perogol, peliwat, jenayah seksual kanak-kanak ada, tetapi soalnya kenapa masih berlaku? Kenapa undang-undang itu tidak pun menakutkan mereka sebaliknya mereka mencabar undang-undang itu dengan perilaku. Sebabnya cuma satu kerana kita tidak melentur buluh dari rebungnya. Kita menguatkuasakan undang-undang pada orang yang jiwanya telah mati. Kita menguatkuasakan undang-undang kepada orang yang memang telah tepu pemikirannya.
Oleh yang demikian, pendidikan. Pendidikan keselamatan jalan raya, pendidikan kepatuhan terhadap undang-undang, pengenalan pendidikan dan juga pengupasan terhadap semua akta ini perlu sampai ke akar umbi terutamanya ke sekolah, “Kalau hendak melentur buluh biarlah jadi rebungnya, jangan sudah terantuk baru nak tengadah, sediakanlah payung sebelum hujan”. Ini adalah langkah-langkah awal, pendidikan sebelum kita laksanakan hukuman yang lebih berat.
Yang kedua, manfaatkanlah teknologi untuk mendapatkan pindaan ini lebih tepat dan keputusannya lebih menyeluruh. Pindaan teknologi saya mencadangkan penggunaan teknologi seperti AI, kamera pintar dan sistem analisis trafik dipertingkatkan dengan tujuan penguatkuasaan yang lebih berkesan. Dan pendekatan ini bukan sahaja meningkatkan pengesanan kesalahan, tetapi juga boleh mengurangkan pergantungan kepada operasi manual yang kerap kali meragukan rakyat awam.
Tuan Yang di-Pertua, akhirnya penguatkuasaan secara menyeluruh, adil dan saksama dan kolaborasi dengan NGO, persatuan-persatuan dan juga anak muda perlu dipergiatkan dalam menyampaikan maklumat keselamatan jalan raya dan menyampaikan maklumat pindaan undang-undang ini sesuai dengan aspirasi Kerajaan MADANI yang menekankan nilai hormat, ihsan dan kesejahteraan. Jangan lupa JPJ dan kementerian pandang-pandanglah peraturan baharu bagi pemandu mabuk yang menggunakan telefon bimbit dan memandu dalam keadaan di bawah pengaruh alkohol ataupun dadah.
Dato' Yang di-Pertua, nyawa tiada tandingnya. Walau intan seluas permata, walau permata seluas lautan, di tupuk dicambah dan dibina setinggi gunung mencapai puncak Kinabalu atau seteguh Banjaran Titiwangsa.
Datuk Dr. Haji Mustafa bin Musa
Nyawa, bukan barang taruhan. Bagi mereka yang telah merasai kehilangan, undang- undang ini mungkin satu perlindungan. Bagi mereka yang sudah merasai kesedihan, meratapi talkin kematian, undang-undang ini adalah penyelamatnya.
Justeru, mengambil kira keseluruhan dengan mungkin penambahbaikan terhadap apa yang telah dibincangkan di Dewan yang mulia ini Dato' Yang di-Pertua, saya menyokong RUU yang kita bentangkan pada petang ini. Sekian, terima kasih.
Dato’ Setia Salehuddin bin Saidin
Lain macam semangat dan hujah YB Datuk Mustafa setelah turun daripada Kerusi Speaker tadi. Anyway, tahniah dan satu pandangan yang saya rasa cukup baik untuk dipertimbangkan oleh Yang Berhormat Menteri, Timbalan Menteri ya.
Baik, kita ada seorang lagi pembahas sebelum kita tutup. Kita jemput YB Senator Dato' Sri Vell Paari. Berapa minit YB?
Dato' Sri Vell Paari a/l Tun Samy Vellu
Ya. Dato' Yang di-Pertua, terima kasih kerana memberi saya peluang mengambil bahagian dalam perbahasan Rang Undang-undang Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2026. Banyak perkara yang saya ingin bangkitkan sebenarnya telah dihuraikan oleh banyak— baik oleh rakan-rakan Ahli Yang Berhormat sebelum saya. Jadi saya tidak bercadang mengulang semula hujah tersebut.
Saya ingin hanya menyentuh satu perkara tapi sebenarnya ada dua, tapi Datuk Haji Mustafa dah bangkitkan itu supaya mudah-mudahan kita semua boleh balik sedikit awal hari ini sebelum hujan lebat [Ketawa] Perkara yang ingin saya bangkitkan, kita semua bersetuju bahawa jalan raya bukan tempat berlumba. Namun saya ingin bertanya, adakah tindakan ini hanya dikenakan kepada pelumba saja? Bagaimana dengan penganjur, penaja, individu yang mengetuai pertaruhan, bengkel yang mengubahsuai kenderaan secara berbahaya serta mereka yang mengambil keuntungan daripada kegiatan lumba haram? Selagi keseluruhan rantaian ini tidak diputuskan, masalah ini akan terus berulang walaupun ramai pelumba ditangkap.
Dato' Yang di-Pertua, saya mohon menyokong. Terima kasih [Ketawa] .
Dato’ Setia Salehuddin bin Saidin
Ada lapan minit lagi YB. Baik, terima kasih YB. Maka tamatlah sesi perbahasan oleh Ahli-ahli Yang Berhormat dan dengan itu saya menjemput Yang Berhormat Timbalan Menteri untuk menjawab segala perbahasan yang dibangkitkan. Silakan YB.
Timbalan Menteri Pengangkutan - Datuk Haji Hasbi bin Haji Habibollah
Terima kasih Yang Berhormat. Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Pertama sekali, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua Ahli Yang Berhormat Senator yang telah mengambil bahagian dalam perbahasan Rang Undang-undang Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2026.
Saya mengambil maklum bahawa perbahasan ini telah berlangsung dengan penuh minat dan keprihatinan yang sama iaitu bagaimana kita boleh menjadikan jalan raya di Malaysia ini lebih selamat, penguatkuasaan lebih berkesan, undang-undang kita seiring dengan cabaran semasa.
Jadi, saya ada dua pilihan Yang di-Pertua. Kalau saya nak jawab one-by-one, tapi banyak perkara ini di-raise oleh semua Ahli juga, banyak. Jadi, saya kalau nak baca one-by-one ni dia akan ulang, ulang, ulang, ulang je cerita sama...
Dato’ Setia Salehuddin bin Saidin
Sampai malam pun tak habis.
Datuk Haji Hasbi bin Haji Habibollah
Ya lah, memang banyak. Tadi dah baca panjang.
Ini nak jawab sorang-sorang lagi pun cerita sama. Jadi saya nak kumpulkan dalam ikut topiklah.
Jadi mana-mana Yang Berhormat yang telah pun membangkitkan, yang menyentuh apa yang dibangkitkan tu kira terkandung dalam tu lah ya.
Jadi, pertama sekali Yang Berhormat yang paling penghabisan ni tadi yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Datuk Dr. Mustafa. Sebelum tu Datuk, saya peminat Ekamatra juga. Insya- Allah, Pusara di Lebuhraya.
Jadi tentang yang disebut oleh Yang Berhormat tadilah, kita tak de lah nak pilih-pilih kayangan ataupun tidak ya— yang motor besar. Saya masih ingat dalam Penggal Kedua saya di Parlimen, seorang Ahli Parlimen accident bawa motor besar di salah sebuah negeri dalam Malaysia dan meninggal on the spot-lah. Bawa lajulah tu. Jadi, itulah dia tak kiralah kayangan tak kayangan. Jadi juga untuk cerita kita dengan rakyat ini memang betul, rakyat memerhatikan apa juga tindak tanduk yang kita buat.
Untuk pengetahuan semua jugalah walaupun tidak disebut dalam perbahasan ini, ini maklumat tambahan, kita buat Operasi Luxury, kenderaan-kenderaan mewah. Pada tahun 2026 ini, 1,256 kenderaan telah pun disita, kereta mewah. Ini semua high end punya keretalah. 2025, 785 kenderaan disita tentang high end. Jadi itu dari segi penyitaan. Yang kita tahu cerita di Simpang Renggam pun hari itu adalah kereta yang high end juga, yang berlumba di atas jalan tu.
Jadi, pertama sekali saya ingin nak menyentuh tentang perkara yang disebut iaitu berkaitan dengan kenaikan daripada RM300 kepada RM500 ini ya. Jadi yang sebenarnya, ini akan dikuatkuasakan pada 1 Januari 2029, tahun 2029. Lama lagi sebab ia nya adalah— kenaikan ini tidak lain dan tidak bukan ia nya kita mengharapkan perkara ini jadi deterrence daripada rakyat kita ini supaya ya lah mengambil ringan tentang kesalahan-kesalahan.
Jadi salah seorang Yang Berhormat tadi menyentuh, apakah kesalahan-kesalahan ini?
Dia memang untuk RM500 ini kesalahan utama dia seperti melanggar lampu isyarat, lorong kecemasan, memotong di barisan kiri, memotong garisan kembar, tali pinggang keledar yang tak dipasang, topi keledar, telefon bimbit. Ini adalah di bawah yang kesalahan utama di bawah yang RM300 ke RM500, tetapi kita juga mesti ingat bahawa ianya bukanlah maksimum. Ianya mengikut kadar kesalahan yang akan diperincikan nanti apabila undang-undang ini diluluskan, kaedah pembahagian kesalahan ini, kesalahan ini, kesalahan ini dan sebagainya. Jadi, itu berkaitan dengan hal perkara menaikkan daripada RM300 kepada RM500. Tujuan roh dia tidak lain dan tidak bukan adalah deterrence, okey.
Keduanya ialah tentang yang paling lagi menarik perhatian iaitu tentang pengisytiharan kawasan. Yang kita tumpukan di sini ialah tentang kenderaan kita juga di antaranya adalah kenderaan yang high end jugalah. Yang duduk di Kuala Lumpur, tapi dia ambil Road Tax di Sabah, di Sarawak, di Labuan yang jauh lebih murah. Jadi, perkara inilah yang ditumpukan dalam hal pengisytiharan ini. Di Pulau Langkawi, rate dia berbeza. Jadi, inilah pengisytiharan- pengisytiharan supaya memastikan kenderaan ini berada di tempat ianya sepatut beroperasi dengan Road Tax yang dia bayar. Jadi, itulah tujuannya dalam rang undang-undang ini.
Seterusnya ialah tentang mikro mobiliti. Memang betul, mikro mobiliti ini sudah tersebar luas di negara kita. Malahan yang sebenarnya secara undang-undang yang kukuh tentang mikro mobiliti itu sendiri, tetapi ia nya masuk ke negara kita seolah-olah undang-undang sudah ada yang kukuh tentang mikro mobiliti ini. Mereka bawa saja masuk. Padahal ianya tidak melalui pun kelulusan daripada JPJ dan sebagainya tentang mikro mobiliti ini. Ini juga kita tak mahulah ianya masuk melambak ke negara kita dan minta kerajaan mesti lulus, mesti luluskan.
Jadi, ini juga rasanya akan jadi tanggungjawab kena kementerian yang lain untuk memastikan lambakan kemasukan mikro mobiliti ke dalam negara kita. Jadi, sekali lagi saya katakan ianya tidak melalui pun proses melalui JPJ. Jadi ini adalah satu perkara yang serius juga tentang mikro mobiliti yang masuk ke negara kita. Masuk melambak-lambak. And the end you want to force the government, please approve it. No, is not just about just approving it any how tentang keselamatan, kualiti mikro mobiliti ini.
Namun, tentang penggunaan seperti yang dibangkitkan oleh beberapa orang YB Senator iaitu kita ada mempunyai Sandbox Mikromobiliti iaitu saya bacakan di sini iaitu tentang Garis Panduan Pelaksanaan Sandbox Mikromobiliti (GPPSM) telah berkuat kuasa pada Januari 2024 sebagai mekanisme untuk mengawal selia pelaksanaan dan pengujian perkhidmatan mikro mobiliti secara selamat dan terkawal.
Datuk Haji Hasbi bin Haji Habibollah
Sehingga kini, sebanyak tujuh permohonan sandbox telah diluluskan bagi tempoh dua tahun iaitu Februari 2025 hingga Januari 2027. Kelulusan adalah bersyarat dan tertakluk kepada pematuhan keperluan keselamatan yang ditetapkan iaitu Majlis Bandaraya Shah Alam, Majlis Bandaraya Pulau Pinang, Majlis Bandaraya Subang Jaya, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, UiTM Perak, Universiti Teknologi Petronas, Universiti Malaya. MIROS berperanan sebagai agensi teknikal yang menyokong pelaksanaan sandbox melalui empat skop utama iaitu keselamatan jalan dan laluan operasi, pematuhan serta penilaian berkala siasatan kemalangan sekiranya berlaku insiden dan program advokasi dan pendidikan keselamatan.
Jadi di sini, MIROS juga membangunkan beberapa modul sokongan seperti pemeriksaan keselamatan kenderaan mikromobiliti di bawah sandbox ini, latihan pengendalian selamat, penilaian laluan, audit keselamatan, senarai semak pematuhan serta kerangka penarafan keselamatan lorong mikromobiliti ini iaitu micromobility land star rating yang sedang dibuat. Jadi, tahap pematuhan pengendali terhadap syarat-syarat sandbox sukar hendak dinilai secara menyeluruh berikutan ketiadaan mekanisme pemantauan dan penguatkuasaan yang khusus.
Pada masa ini, tiada sistem pelaporan berpusat atau mekanisme kawalan yang membolehkan kadar pematuhan status operasi, rekod insiden serta keberkesanan langkah mitigasi dipantau secara konsisten. Ini tentang mikromobiliti ini. Jadi, penilaian awal di beberapa lokasi mendapati terdapat kekangan dari segi reka bentuk dan tahap keselamatan infrastruktur.
Justeru, penambahbaikan infrastruktur dan pemilihan laluan yang sesuai adalah penting bagi memastikan pelaksanaan mikromobiliti dapat dilaksanakan secara selamat.
Jadi, kita memahami di luar bandar juga ianya sudah menjadi tempat berkenaan hantar anak sekolah dan sebagainya dan ianya kadang-kadang di daerah-daerah, ianya digunakan dalam taman-taman rekreasi dan sebagainya, tetapi apabila dah masuk kepada public road, maka ianya sudah menjadi satu mendatangkan bahaya kepada pengguna itu sendiri dan ianya adalah salah. Jadi, kita berharap dengan study yang kita buat ini akan banyak lagi iaitu bekerjasama dengan PBT di daerah-daerah, di negeri-negeri masing-masing. Saya yakin seperti apa yang dibuat di Shah Alam dulu, dia buat program MyPLAN, yang itu ialah di bawah PBT di Bandaraya Shah Alam.
Jadi, kita juga mengharapkan agensi lain, kementerian lain juga bekerjasamalah dengan Kementerian Pengangkutan untuk mengadakan sandbox, sandbox mereka di PBT-PBT masing- masing dan juga mana-mana kawasan yang di bawah kawalan negeri-negeri, di bawah kawalan PBT negeri masing-masing. Jadi, barulah ianya dapat diadakan secara menyeluruh. Ya lah, negara kita luas. Belum Sabah, Sarawak lagi. Jadi, itulah harapan kita tentang berkaitan dengan mikromobiliti.
Seterusnya ialah tentang tonto. Ada perkara tentang keadaan jalan ini. Tadi, jalan berlubang dibangkitkan oleh YB Senator Abun Sui dan juga YB Senator Hasbi iaitu tentang ini, kita berharaplah agensi seperti PBT itu sendiri, Kementerian Kerja Raya dan juga JKR lah untuk memastikan memang betullah undang-undang satu hal, tetapi kadang-kadang saya pun bekas orang JKR, kita fahamlah itu. Memang betul kalau keadaan ini jalan tak selamat, tak payah jalan laju, jalan slow pun boleh accident juga. Juga disebut oleh YB Hasbi tadi berkaitan dengan apabila lepas hujan, lubang pun dah tak nampak lagi dah. Itu belum lagi orang cakap buaya boleh berenang dalam lubang itu [Ketawa] Ada.
Jadi, itulah. Kita mengharapkan semua agensi yang diberi tanggungjawab untuk memastikan jalan raya itu, untuk menyelenggara jalan raya, kita tak kiralah di lebuh raya, jalan negeri, jalan PBT dan sebagainya. Kita masing-masinglah untuk melaksanakannya, memastikan jalan raya itu, struktur jalan itu adalah selamat untuk pengguna-pengguna jalan raya kita.
Jadi seterusnya iaitu tentang yang paling popular ialah lumba haram. Jadi, lumba haram ini sebagaimana kita ketahui pada masa ini ianya adalah yang sekarang ini tindakan yang boleh diambil ialah memandu secara melulu sahaja sebab itulah undang-undang di bawah spesifik untuk lumba haram ini diwujudkan. Tak payah nak tunggu mereka accident dulu, cedera dan sebagainya barulah undang-undang dikuatkuasakan, diambil tindakan. Jadi sekarang ini, kita di bawah undang-undang yang kita pinda ini, yang baru ini supaya kita boleh mengambil tindakan lebih awal sebelum ianya berlaku.
Tentang yang berkaitan dengan lumba, speed testing. Yang ini tak kira, dia berlumba ke tak berlumba ke, as long as you test, you bising atas jalan raya, public road, itu pun sudah boleh diambil tindakan. Kalau nak test you punya motorbike, cari litar. Memang, some people yang lepas modifikasi dan sebagainya, carilah jalan. Bukan jalan, carilah litar. Kalau kata ada jalan di sini, jalan lurus, you boleh test, tak boleh, it’s still a public road. Itu yang kita tak benarkan.
Di sanalah kita boleh ambil tindakan walaupun ia seorang diri bawa laju, testing dia punya motorcycle ataupun kereta dia. Apa lagi kalau kereta inilah, yang mahal-mahal, high-end itu.
Dengan bunyi dia, dengan Brabus dia dengan yang bunyi punya hebat. Itu juga kalau ianya menggunakan public road sebagai testing, juga kita boleh ambil tindakan. Samalah dengan motosikal dan sebagainya.
Dato’ Setia Salehuddin bin Saidin
Jadi YB, pada pertanyaan tadi, macam mana nak bezakan tindakan yang diambil di bawah kesalahan accident maximum limit ataupun yang tadi, yang berlumba nak test kelajuan kereta itu?
Datuk Haji Hasbi bin Haji Habibollah
Saya rasa semua jalan raya ada speed limit dia.
Dato’ Setia Salehuddin bin Saidin
Benar.
Datuk Haji Hasbi bin Haji Habibollah
Ha, itulah.
Dato’ Setia Salehuddin bin Saidin
Tapi kesalahan dia berbeza, satu kesalahan itu melibatkan dia accident speed limit. Kompaun boleh RM500, tetapi satu lagi itu dia nak test kelajuan kereta itu. Itu lain peruntukan-peruntukan baru yang ada itu.
Datuk Haji Hasbi bin Haji Habibollah
Ya. Jadi Yang di-Pertua, itu akan diperincikan lagilah apabila sudah undang-undang ini diluluskan, tentang kaedah yang disebut oleh Yang di- Pertua lah. Speed limit itu sudah pastilah.
Keduanya, mungkin orang testing ini ada ciri-ciri dia. Orang yang jalan biasa ataupun orang yang memang hendak sengaja, tapi perkara-perkara ini, I mean, it’s a bit vague, tapi ianya akan diperincikan selepas undang-undang ini akan diwartakan nanti. Sudah pastilah akan diperincikan.
Jadi, undang-undang lumba haram ini memang sudah high time lah. Ianya berlaku boleh kata hampir seluruh, semua berlaku di mana-mana negerilah di Malaysia ini termasuk di kawasan saya di Daerah Limbang. Jalan tempat kecil pun, tengok airport road lurus, dah berapa orang meninggal di sana juga akibat lumba. Ada seorang itu hidup, tapi kasihanlah, cacat sampai sekarang. Cacat, orang muda-muda. Kena masa umur 20 lebih, sekarang dah dekat 40, cacat disebabkan oleh berlumba haram inilah. Jalan airport Limbang itu. Jadi, saya rasa tempat lain pun sama juga keadaannya. Jadi kita, dengan adanya undang-undang yang baru ini, insya-Allah aktiviti lumba haram ini, harapan kita memang agar undang-undang ini memberi kesan tentang kegiatan ini.
Ada juga perkara yang dibangkitkan tentang, di Dewan Rakyat pun hari itu, penganjur.
Maksudnya, penganjur ini kita terpaksa bekerjasama dengan KDN. Itu sudah banyak unsur-unsur judilah, perjudian, pertaruhan wang, pertaruhan yang macam-macam jenislah pertaruhan lumba haram ini. Jadi, rasanya itu akan dibuat bersama-sama dengan kerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri kalau membabitkan ini. Jadi, kita adalah berkaitan dengan permotoran itu sahaja, permotoran itu. Kelajuan dan sebagainya dan tindakan melulu dan sebagainya di atas jalan raya yang membawa kepada ciri-ciri lumba haram yang boleh diambil tindakan.
Datuk Haji Hasbi bin Haji Habibollah
Jadi, seterusnya ialah tentang MyJPJ ya. MyJPJ itu memang sekarang ini sudah 14 juta pengguna MyJPJ ya, dan kita faham tentang penggunaan— permasalahan di mana tak ada line ya, tak ada signal dan sebagainya, yang boleh menyebabkan queue panjang dan sebagainya.
Memang betul, ia nya berlaku di kawasan-kawasan pedalaman, di kawasan yang line tak berapa steady-lah, tetapi sekarang ini yang kalau kita lihat ya iaitu berkenaan dengan beban, adalah menjadi tanggungjawab— kejap ya, Tuan Yang di-Pertua. Iaitu tentang— okey, iaitu sekarang ini adalah menjadi tanggungjawab penguat kuasa untuk membuktikan bahawa— ayat yang lebih baik yang saya nak gunakan di sini. Okey, ini dia. Jadi, berkaitan dengan pindaan ini ya, iaitu tentang kewajipan mengemukakan lesen kenderaan bermotor.
Pindaan ini selaras dengan pelaksanaan pendigitalan, di mana maklumat dalam lesen disahkan melalui rekod digital, mesej elektronik atau apa-apa bentuk keterangan lain yang diterima oleh pegawai penguat kuasa. Ini bermaksud beban pembuktian bahawa LKM atau lesen memandu yang telah tamat tempoh adalah terletak pada pegawai penguat kuasa, ya.
Di mana, pada masa ini memang ada kawasan yang tiada line apabila dikeluarkan notis dan sebagainya bahawa ianya bukannya terus dikenakan saman. Ianya akan dibawa balik ke pejabat lagi. Apabila nak key in, di sini mereka mengetahui sama ada dia betul-betul dalam proses ataupun lesen dia sebenarnya adalah hidup Road Tax dia, tetapi bila nak key in, its still valid. Maka, notification yang diberikan kepada yang di-check di jalan raya tadi itu, tidak akan dikenakan saman.
Jadi, pembuktian itu adalah terletak pada pegawai penguat kuasa, ya. Kita faham tentang perkara yang berkaitan dengan line ini dan kiranya ialah berkenaan supaya ianya menjadi— membuatkan rungutan rakyat itu memang betul. Masih banyak lagi yang minta stiker ini. Jadi, yang sebenarnya kerajaan telah pun— Road Tax dan sebagainya telah pun dalam proses mengembalikan kepada sesiapa yang minta di kaunter JPJ, tetapi ada fi sikit, ya.
Memang, sesiapa yang masih lagi nak fizikal punya stiker, boleh minta di kaunter JPJ, tapi insya-Allah, tak lama lagi because sekarang sudah proses perolehan dan sebagainya untuk mengembalikan, tetapi kepada mereka yang nak sahaja, terus terang memang ada pembayaran sedikit. Itu choice kitalah, ya.
Jadi Yang di-Pertua, rasanya perkara yang menarik perhatianlah ya tentang kenaikan saman, lumba haram, pengisytiharan kawasan mikro-mobiliti, hal tonto dan juga hal JPJ ini tadi, MyJPJ dan satu lagi ialah telah pun saya jawab iaitu satu lagi tentang advokasi ini, yang sebenarnya sekarang ini, advokasi pendidikan. Bukannya baru dimulakan, sudah lama di bawah Majlis Keselamatan Jalan Raya.
Ianya telah pun— modul-modul ini pun sudah dimasukkan di dalam peringkat sekolah.
Memang sudah ada. Walaupun ia nya bukan secara spesifik, tetapi sudah ada, dan kita yakin, memang betul-betul di negara-negara lain seperti negara Jepun dan sebagainya, advokasi keselamatan jalan raya dan juga, banyak perkara lain juga tentang kehidupanlah ya, tentang kebersihan dan sebagainya, sudah diterapkan di peringkat awal.
Jadi, insya-Allah. Kerajaan kita telah pun banyak juga di MOT mengadakan program- program advokasi ini, tentang pemanduan selamat dan sebagainya kepada pemandu-pemandu kita dan refresher course juga ada dibuat kepada pemandu-pemandu awam, public transport dan sebagainya. Ada dibuat.
Jadi, advokasi ini memang kita memang percaya, tetapi saya yakin, ia nya ialah mestilah seperti apa yang disarankan oleh Yang Berhormat Wakil-wakil Rakyat tadi iaitu tentang untuk kita buat lebih ini lagilah— apa nama? Dipertingkatkan, diperkasakan lagi peringkat advokasi.
Memang betul, kita tak boleh nak hanya berharapkan dengan saman dan mengharapkan ianya akan deter sikap pemanduan kita. Memang betul, tapi ini adalah langkah sebahagian daripada sebagaimana undang-undang ini juga.
Ia nya dibuat, dipinda begitu. Kita melihat dalam Pelan Keselamatan Jalan Raya. Ini adalah salah satu daripada langkah kita untuk mengetatkan perundangan jalan raya dalam negara kita yang sebagai di bawah pelan keselamatan itu.
Jadi, advokasi ini juga sudah pastinya akan menjadi salah satu agenda penting dalam Pelan Keselamatan Jalan Raya dalam negara kita. Jadi, saya berharap apa-apa yang telah pun saya jawab ini, ada juga— ada lagi perkara yang secara belum terjawab, yang kecil-kecil itulah, yang perkara-perkara tentang— ada beberapa perkara banyak juga— 42 seksyen itu tadi akan mungkin yang perlu dijawab secara bertulis, kita akan memberikan jawapan secara bertulis ya.
Dan, sekali lagi saya mengucapkan terima kasih kepada 21 orang Tuan Yang di-Pertua— 21 orang ya, pembahas.
Dato’ Setia Salehuddin bin Saidin
Ya, 21 orang— 22 orang, 22.
Datuk Haji Hasbi bin Haji Habibollah
...22 orang pembahas yang telah pun turut serta dalam membahaskan pindaan pembentangan Rang Undang-undang Akta Pengangkutan Jalan 2026 ini.
Dan, kita minta semualah sama-sama bukan hanya di JPJ, wakil-wakil rakyat pun sama juga memainkan peranan di kawasan masing-masing ya, bekerjasama dengan semua pihak dan agensi lain untuk memastikan jalan raya kita ini akan menjadi jalan raya yang selamat dan kita dapat mampu mengurangkan kadar kemalangan dan juga, kemalangan maut di jalan raya kita.
Kalau dapat kita menurunkan statistik kita sebagaimana yang kita nak target pada 2030 untuk menurunkan 50 peratus. Well, better is not late than never, tapi ini adalah usaha kita sama- sama untuk menurunkan statistik kemalangan di dalam negara kita ini.
Dan harapan kita, undang-undang yang dibentangkan ini memang betul. Bukanlah kita hendak menakut-nakutkan atau nak menyusahkan rakyat atau— apa nama? Ianya semata-mata memastikan undang-undang sudah ada, kita ciri-ciri— mungkin takut itu sedikit, hormatkan undang-undang pun sedikit, patuh pada undang-undang ini. Itu yang kita nak lihat dalam penggubalan, pindaan Akta 33, Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2026. Itulah harapan kami, kita bersama semua.
Jadi, saya ucapkan terima kasih sekali lagi kepada semua YB-YB Senator yang telah pun turut serta dalam membahaskan pindaan ini. Terima kasih, Yang di-Pertua.
Dato’ Setia Salehuddin bin Saidin
Terima kasih kepada Yang Berhormat Timbalan Menteri. Maka, tamatlah sudah jawapan yang diberikan oleh Timbalan Menteri.
Ahli-ahli Yang Berhormat, sekarang saya kemukakan masalah kepada Majlis bagi diputuskan. Masalahnya adalah bahawa rang undang-undang ini dibacakan kali yang kedua sekarang.
[Masalah dikemukakan bagi diputuskan; dan disetujukan] [Rang undang-undang dibacakan kali yang kedua dan diserahkan kepada Dewan sebagai Jawatankuasa] [Majlis bersidang dalam Jawatankuasa] [Dato’ Setia Salehuddin bin Saidin mempengerusikan Jawatankuasa****] [Fasal-fasal dikemukakan kepada Jawatankuasa] [****Fasal-fasal 1 hingga 41 diperintahkan jadi sebahagian daripada rang undang-undang] [Rang undang-undang dimaklumkan kepada Majlis sekarang] [Majlis Mesyuarat bersidang semula] [Dato’ Setia Salehuddin bin Saidin ***mempengerusikan Mesyuarat****] [Rang undang-undang dilaporkan dengan tidak ada pindaan; dibaca kali yang ketiga, disokong oleh Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (Datuk Dr.
Fuziah binti Salleh) dan diluluskan]*
Dato’ Setia Salehuddin bin Saidin
Terima kasih. Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian.
Mesyuarat Dewan hari ini ditangguhkan sehingga ke jam 10 pagi, hari Rabu 22 Julai 2026. Terima kasih. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
[Dewan ditangguhkan pada pukul 5.53 petang]