Katalog Hansard
[Tuan Yang di-Pertua mempengerusikan Mesyuarat]
Tuan Yang di-Pertua
Dipersilakan pertanyaan pertama oleh Yang Berhormat Senator Datuk Noraini binti Idris.
Datuk Noraini binti Idris
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam sejahtera dan selamat pagi. Terima kasih Tan Sri Yang di-Pertua. Soalan saya nombor 1.
1. Datuk Noraini binti Idris minta Menteri Luar Negeri menyatakan, komitmen tanpa sempadan yang turut digalas oleh Duta-Duta Besar Malaysia ke negara luar khususnya Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat dalam menyampaikan pendirian hakiki Kerajaan Malaysia secara terus kepada kerajaan-kerajaan luar berkenaan penentangan terhadap jenayah peperangan terhadap bumi Palestin.
Tuan Yang di-Pertua
Ya, sila Yang Berhormat.
Timbalan Menteri Luar Negeri - Datuk Mohamad bin Alamin
Bismillahi Rahmani Rahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Selamat pagi dan salam Malaysia MADANI.
Tan Sri Yang di-Pertua, saya mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Datuk Noraini binti Idris atas pertanyaan yang dikemukakan. Izinkan saya menjawab pertanyaan Yang Berhormat Datuk Noraini Idris bersekali dengan pertanyaan yang dikemukakan oleh Yang Berhormat Dato’ Dr. Ahmad Azam bin Hamzah kerana pertanyaan tersebut menyentuh isu yang sama.
Tan Sri Yang di-Pertua, ketua-ketua perwakilan kita sememangnya menggalas tugas dan amanah untuk mengetengahkan pendirian serta mempertahankan kepentingan negara di arena antarabangsa di negara tuan rumah atau negara tauliah lain tanpa mengira masa, keadaan dan lapangan. Pendirian negara dalam isu ini tidak akan menjejaskan hubungan diplomatik dengan negara-negara lain. Tiada perbezaan pendirian Malaysia baik untuk konflik Palestin-Israel atau Ukraine-Rusia. Ini jelas memperlihatkan pendekatan berprinsip negara dan hak berdaulat kita menyatakan pendirian tanpa ada rasa tekanan atau gentar.
Berhubung konflik Palestin-Israel, ketua-ketua perwakilan kita sentiasa melaksanakan libat urus yang berterusan dengan semua pihak yang berkepentingan di negara tuan rumah. Ini terutamanya dalam menyatakan pendirian tegas Malaysia agar cessation of hostilities, ceasefire dan humanitarian corridor dapat diteruskan. Dalam hal ini, Malaysia akan terus menggiatkan interaksi dengan semua negara, tidak terhad kepada negara-negara se-pemikiran- like-minded countries sahaja dalam usaha mewujudkan kefahaman dan kesedaran yang lebih menyeluruh terhadap isu Palestin.
Sebagai contoh, Duta Besar ke Amerika Syarikat, Tuan Yang Terutama Dato’ Seri Nazri Aziz sentiasa berhubung dengan pegawai kanan jabatan negara atau, dengan izin, state department. Ini termasuk pada 18 Oktober yang lalu bagi menyatakan pendirian Malaysia terhadap konflik ini dan seterusnya menggesa kuasa-kuasa besar untuk turut membantu menegakkan undang-undang kemanusiaan yang sewajarnya di Semenanjung Gaza.
Berkat usaha dan rundingan yang dijalankan oleh Malaysia serta negara-negara dunia lain di pelbagai platform pertubuhan antarabangsa ini, Israel dan Hamas telah mencapai kesepakatan gencatan senjata dan kemanusiaan, yakni humanitarian truce agreement untuk menghentikan pertempuran selama tujuh hari dan pembebasan sekurang- kurangnya 100 orang tebusan oleh Hamas yang ditahan di Gaza dan 240 orang tahanan Palestin yang telah dibebaskan oleh Israel pada 24 November yang lalu.
Dalam hal ini, Malaysia akan terus memperjuangkan hak rakyat Palestin di semua platform, baik di peringkat dua hala, serantau dan antarabangsa dalam mencari penyelesaian yang adil dan berkekalan ke arah mewujudkan negara Palestin yang berdaulat dan merdeka.
Berdasarkan prinsip dan paksi undang-undang antarabangsa, tiada sesiapapun di dunia ini yang perlu hidup dalam situasi berbeza dengan insan lain khususnya dalam konteks hak asasi. Sekian dan terima kasih.
Datuk Noraini binti Idris
Soalan tambahan Tan Sri.
Tuan Yang di-Pertua
Sila Yang Berhormat.
Datuk Noraini binti Idris
Okey, terima kasih YB Datuk Timbalan Menteri di atas jawapan yang sangat jelas tadi.
Soalan tambahan saya, ada desakan daripada masyarakat antarabangsa agar mengheret Israel ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa dilakukan segera terhadap kesalahan jenayah perang yang dilakukan Israel terhadap Palestin. Namun, kita tahu bahawa negara Malaysia bukanlah ahli dalam Statut Rom. Jadi bagaimanakah Malaysia dapat memainkan peranan dalam isu ini agar Malaysia dapat dilihat bersama-sama dengan negara- negara lain untuk mendesak Israel didakwa di Mahkamah Jenayah Antarabangsa? Terima kasih.
Datuk Mohamad bin Alamin
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Noraini. Kita setuju bahawa Malaysia harus memperlihatkan dan mesti kelihatan untuk bersama-sama dengan masyarakat antarabangsa khususnya dalam isu memperjuangkan hak Palestin ini.
Benar, kita bukanlah ahli dalam Statut Rom. Walau bagaimanapun untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Malaysia masih dapat memainkan peranannya dalam perkara ini yang melibatkan soal mengheret Israel ke muka pengadilan, ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa ataupun International Criminal Court. Oleh itu, kita akan sentiasa menyeru dan terus menjalinkan kerjasama dengan negara-negara anggota OIC terutamanya serta negara- negara sepemikiran agar isu kekejaman Israel ini dibawa secepat mungkin ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa.
Kerajaan Malaysia untuk makluman Yang Berhormat, sedang mengkaji sumbangan dan peranan yang boleh dimainkan oleh negara bagi menyokong siasatan sehingga pendakwaan oleh ICC ke atas Israel dengan mengambil kira yang mana kita itu bukanlah ahli dalam Statut Rom.
Datuk Mohamad bin Alamin
Untuk makluman Yang Berhormat juga bahawa beberapa kemungkinan yang mungkin kita boleh laksanakan demi menyatakan kebersamaan kita untuk menyokong desakan membawa Israel, mengheret Israel ke muka pengadilan. Apakah kemungkinan yang perlu kita kaji? Pertamanya, kita akan bekerjasama secara sukarela, ad-hoc dengan Pejabat Pendakwa Raya ICC bagi menyokong siasatan dan juga kita boleh membantu mereka daripada segi untuk pendakwaan, menyampaikan dokumen-dokumen perundangan ataupun memudahkan kehadiran sukarela saksi-saksi yang boleh menyokong kes itu apabila dikemukakan di mahkamah nanti.
Kita juga sebenarnya sedang menghimpunkan negara-negara yang mempunyai pemikiran yang sama. Termasuk negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk mengumpul dana dan sumbangan bagi melicinkan, melancarkan proses pendakwaan apabila Israel itu nanti diheret ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa.
Untuk makluman Yang Berhormat, selama ini kita juga sebenarnya memberikan sumbangan kepada– apa nama nya ni, permintaan dari Mahkamah ICJ- International Court of Justice di The Hague, Belanda.
Apabila PBB Yang Berhormat Tan Sri Yang di-Pertua, telah membuat keputusan bahawa mereka perlu mendapatkan advisory opinion mengenai kesan yang boleh berlaku tentang kekejaman, pencabulan Israel terhadap Palestin ini.
Dalam konteks ini, Malaysia juga bersedia untuk memberikan advisory opinion, nasihat pandangan kita kepada International Court of Justice- Mahkamah Jenayah Antarabangsa. Bahkan, pada 25 Julai yang lepas Yang Berhormat Tan Sri, kita telah pun mengemukakan written submission kita kepada pihak ICJ tentang pandangan kita terhadap pencabulan, kekejaman yang telah berlaku, yang telah dibuat oleh Israel. Insya-Allah, kita juga akan mengambil bahagian untuk mengemukakan oral submission kita untuk tampil di ICJ. Insya-Allah, ini akan berlangsung pada 19 Februari 2024 yang akan datang. Ini adalah sebahagian daripada sumbangan kita dan peranan kita dan ini sekali gus menggambarkan komitmen jitu negara kita dalam isu untuk memperjuangkan hak Palestin dan juga menyokong desakan masyarakat antarabangsa supaya mengheret Israel itu ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa. Terima kasih.
Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai
Soalan tambahan.
Tuan Yang di-Pertua
Ya.
Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai
Terima kasih Tan Sri Yang di-Pertua. Memang saya berasa bersyukur selepas Timbalan Menteri mengatakan kekangan dan tentangan Barat itu tidak menjejas hubungan diplomatik yang sedia ada. Soalan saya ialah, adakah Wisma Putra mengambil pendekatan yang secara komprehensif kepada negara-negara yang berlainan pendirian daripada kita, Malaysia? Menjelaskan pendirian Malaysia yang bersolidariti dan menekankan solusi kepada Palestin yang bebas itu. Terima kasih.
Datuk Mohamad bin Alamin
Terima kasih Yang Berhormat. Dalam isu ini, memang kita sentiasa menjaga hubungan diplomatik dengan mana-mana negara. Walaupun negara- negara itu bukan sepemikiran dengan kita dalam isu Palestin-Israel ini. Banyak contoh di mana kita sentiasa bekerjasama dengan negara itu tanpa melibatkan isu ini. Negara Eropah sekalipun, hubungan dagang kita akan terus kita perhebatkan. Dengan Amerika Syarikat pun Yang Berhormat, kita teruskan hubungan baik kita, bahkan Amerika merupakan hubungan apa ni- negara dagang kita yang cukup besar dan juga penting pada Malaysia.
Kita kena meletakkan, we have to draw the line antara isu kemanusiaan yang berlaku di Palestin ini dengan hubungan diplomatik dengan mana-mana negara sekalipun. Jadi untuk hubungan itu, kita sentiasa memberikan pandangan kita, bahkan kepada negara-negara yang bukan se-pemikir dengan kita pun kita juga memberi penjelasan, penerangan kenapa perlu kita bersolidariti bersama-sama dengan rakyat Palestin.
Sebagai contoh, Yang Berhormat Menteri Luar kita dalam pertemuan yang berlangsung baru-baru ini, beliau juga telah bertemu dengan Menteri Luar Brazil bagi membincangkan isu rakyat Palestin ini dan alhamdulillah, Brazil juga bersama-sama dengan kita untuk bersama-sama menunjukkan solidariti menyokong hak perjuangan rakyat Palestin ini. Terima kasih Yang Berhormat.
Tuan Yang di-Pertua
Terima kasih. Saya menjemput Yang Berhormat Prof. Tan Sri Datuk Dr. Haji Mohamed Haniffa.
Prof. Tan Sri Datuk Dr. Haji Mohamed Haniffa bin Haji Abdullah
Assalamualaikum Tuan Yang di-Pertua. Soalan saya, soalan nombor 2.
2. Prof. Tan Sri Datuk Dr. Haji Mohamed Haniffa bin Haji Abdullah minta Menteri Kesihatan menyatakan, adakah langkah-langkah yang diambil oleh kementerian untuk meningkatkan kesedaran pemeriksaan kesihatan dan penyebaran literasi kesihatan yang lebih proaktif dan berhasil kepada rakyat memandangkan penyakit tidak berjangkit akibat budaya tidak sihat membawa peratusan kematian sebanyak 73 peratus di negara kita.
Timbalan Menteri Kesihatan - Dato Lukanisman bin Awang Sauni
Terima kasih Tan Sri Yang di-Pertua. Untuk menjawab soalan Prof. Tan Sri Datuk Dr. Haji Mohamed Haniffa bin Haji Abdullah, Tan Sri Yang di-Pertua, Kementerian Kesihatan Malaysia melalui Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) sentiasa proaktif untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai isu kesihatan, terutama penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti tekanan darah tinggi, kencing manis dan kolesterol tinggi.
Di bawah Agenda Nasional Malaysia Sihat Fasa 1, 2020 hingga 2022, penyebaran literasi kesihatan dan kesedaran mengenai kepentingan pemeriksaan kesihatan terus dilaksanakan daripada masa-ke-semasa melalui program Health Promotion Learning Institutions (HePiLI), dengan izin, yang merupakan promosi dan pendidikan kesihatan kepada golongan sasar seawal peringkat prasekolah.
Yang kedua, program pemerkasaan kesihatan dalam komuniti melalui Wellness Hub dan ejen kesihatan komuniti MyChampion yang terdiri daripada sukarelawan COMBI, KOSPEN, Ikon Gigi, Duta Kenali Ubat, wakil kesihatan kampung dan ahli panel penasihat.
Yang ketiga, program temu seru ataupun outreach melalui Wellnes On Wheel (WOW) yang meliputi 623 lokaliti komuniti di seluruh negara. Dan yang keempat, program promosi kesihatan melalui media. KKM juga turut melaksanakan intervensi kesihatan kepada komuniti sasaran di 30 Wellness Hub seluruh negara.
Sehingga kini, intervensi Program Pengurusan Berat Badan- I Fit and Eat Right mencatatkan seramai 9,031 orang klien telah berjaya menurunkan berat badan.
Manakala intervensi bagi perkhidmatan berhenti merokok mencatatkan seramai 4,846 orang klien yang telah berjaya.
KKM turut melaksanakan sambutan Bulan Malaysia Sihat Sejahtera, di mana sebanyak 3,303 orang rakan strategik yang terdiri daripada pelbagai agensi dan swasta terlibat dalam merancang dan melaksanakan program serta aktiviti pembudayaan hidup sihat kepada rakyat. Secara keseluruhan, seramai 124,300 orang telah menyertai sambutan BMSS ini secara fizikal, manakala 3.6 juta orang telah menyertai secara atas talian yang merangkumi 319 aktiviti.
Seterusnya, Inisiatif Saringan Kesihatan Kebangsaan (NHSI) turut dilaksanakan oleh KKM melalui- bermula Julai 2022 di seluruh negara bagi kumpulan sasar 18 tahun ke atas.
Pada tahun 2023, melalui promosi ini sejumlah 1.38 juta orang individu telah berjaya disaring.
KKM juga telah melaksanakan Pelan Strategik Kebangsaan Penyakit Tidak Berjangkit (NCD) 2016-2025 dengan pelaksanaan pelbagai program dan aktiviti, termasuklah Program Komuniti Sihat Pembina Negara (KOSPEN), advokasi pemakanan sihat melalui saluran media dan juga Program Madani Afiat bagi menyebarkan maklumat pencegahan dan rawatan penyakit NCD serta saringan kesihatan bagi pencegahan dan intervensi awal penyakit tidak berjangkit (NCD).
Melalui Program Madani Afiat ini, pengunjung boleh mendapatkan khidmat nasihat mengenai Skim Perubatan Madani, saringan asas kesihatan, saringan kecergasan, perkhidmatan klinik berhenti merokok dan juga khidmat nasihat pemakanan, penggunaan ubat secara betul dan juga amalan kitar semula dan penjagaan kebersihan persekitaran.
Terima kasih Tan Sri Yang di-Pertua.
Tuan Yang di-Pertua
Terima kasih Yang Berhormat.
Prof. Tan Sri Datuk Dr. Haji Mohamed Haniffa bin Haji Abdullah
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua dan terima kasih Timbalan Menteri. Persoalan tambahan sudah dijawab. Terima kasih.
Beberapa Ahli
[Berdiri]
Dato’ Dr. Ahmad Azam bin Hamzah
Tan Sri Yang di-Pertua, saya ada satu soalan tambahan yang mengenai NCD ini. Kalau ikut laporan terkini, diabetes- kita champion di Asia.
Yang tertinggi di Asia dan saya rasa yang kedua di dunia kot, selepas Arab Saudi.
Dato’ Dr. Ahmad Azam bin Hamzah
Mengikut laporan juga, hampir 50 peratus tak sedar yang dia kena diabetic. Jadi, soalan saya, macam mana kita nak menyedarkan yang 50 peratus ini supaya mereka pergi membuat, orang kata checkup, dengan izin, supaya dalam jangka masa panjang kita dapat elakkan kes-kes yang kronik.
Biasanya diabetic ini akan melibatkan selepas itu darah tinggi, jantung dan sebagainya, yang menyebabkan kos rawatan begitu tinggi. Jadi, bagaimana nak menyedarkan mereka, yang 50 peratus ini, yang tak sedar mereka ini kena diabetic? Terima kasih.
Dato Lukanisman bin Awang Sauni
Terima kasih, Yang Berhormat Dr. Berkenaan tentang isu yang dibangkitkan, peningkatan penyakit seperti diabetic, ini memerlukan usaha secara menyeluruh. Di dalam Kertas Putih Kesihatan pun, di dalam pillar ataupun tonggak utama kami mengatakan bahawa kerajaan ingin beralih daripada sick care kepada preventive care. Literasi pendidikan kesihatan ini adalah sangat-sangat penting. Kalau kita lihat masyarakat terutama di pendalaman, di luar bandar, mereka lebih tertumpu kepada mengubati tetapi tidak sedar bahawa perlunya ada saringan untuk mengetahui penyakit- penyakit yang ada dalam tubuh badan mereka. Masyarakat-masyarakat di bandar juga perlu memberikan perhatian, memandangkan gaya hidup dan juga pemakanan mereka lebih terdedah kepada penyakit-penyakit seperti NCD ini.
Oleh sebab itulah, kerajaan telah menyasarkan untuk mengadakan sebanyak mungkin saringan kesihatan dan juga pada tahun ini, kita telah menyasarkan 1.5 juta dan ketika ini, kita telah mencapai 92 peratus sehingga November 2023 dan juga melalui saringan-saringan yang kita buat ini, kita dapati ramai yang telah sedar dan juga telah pergi ke facilities KKM untuk mendapatkan rawatan.
Walaupun demikian, kita tidak akan dapat kekal hanya sekadar untuk merawat penyakit-penyakit NCD ini. Maka, kegiatan yang akan lebih kerap dilaksanakan pada tahun hadapan dengan memohon kepada public sector, private sector untuk bekerjasama dan juga agensi-agensi kerajaan supaya tidak melaksanakan program secara silo.
Ada terdapat kementerian melaksanakan program-program outreach kesihatan seperti Kementerian Pertahanan yang mempunyai program CSR mereka, pergi ke kawasan pendalaman. Maka, kita menganjurkan satu kerjasama supaya kita dapat mengesan dan juga mengadakan saringan.
Melalui inisiatif kerajaan, kerajaan sempena satu tahun ini, pada 10 hari bulan kelak kita akan mengadakan program Madani Afiat, di mana kita menjangka puluhan ribu yang akan datang dan di situ Kementerian Kesihatan akan melakukan saringan-saringan kesihatan. Dalam program Madani Afiat, kebiasaannya di tujuh buah negeri yang kita laksanakan, kita telah menghantar pegawai-pegawai perubatan dan juga healthcare workers dengan izin, untuk melawat rumah ke rumah, untuk mendapatkan dan juga hasil dapatan ini terdapat respons yang baik daripada masyarakat.
Mereka mula sedar bahawa saringan kesihatan dan juga berdasarkan data pada tahun 2019, hanya 35 peratus masyarakat sedar untuk melakukan saringan dan juga data yang akan kita buat pada tahun hadapan akan menunjukkan lagi apakah yang berlaku selepas pandemik COVID-19. Adakah masyarakat lebih sedar berkenaan saringan kesihatan ini? Terima kasih, Tan Sri Yang di-Pertua.
Tuan Yang di-Pertua
Terima kasih, Yang Berhormat.
Tuan Amir bin Ghazali
Yang di-Pertua...
Dato Dr. Nuing Jeluing
Tan Sri...
Tuan Yang di-Pertua
Boleh, Dato’ Dr. Nuing.
Dato Dr. Nuing Jeluing
Terima kasih, Tan Sri. Timbalan Menteri, adakah kementerian akan mengehadkan hidangan minuman manis di upacara rasmi dan pasaran seluruhnya sebab minuman manis atau kordial ini mengandungi banyak gula dan itulah satu sebab terlampau banyak sakit kencing manis di Malaysia. Terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua
[Ketawa]
Dato Lukanisman bin Awang Sauni
Yang Berhormat Senator Dr. Nuing, satu cadangan yang baik. Tan Sri Yang di-Pertua dan juga saya berharap agar Tan Sri Yang di- Pertua juga boleh menasihatkan semua Ahli-ahli Dewan Negara ini dan juga Dewan Rakyat untuk mengurangkan kadar pengambilan air dan juga cadangan tersebut, air yang bergula, air manis...
[Dewan riuh]
Tuan Yang di-Pertua
Air manis, ya.
[Ketawa]
Dato Lukanisman bin Awang Sauni
[Ketawa] Air kosong baik untuk kesihatan tetapi air yang mengandungi gula yang tinggi, kita akan cuba untuk memberikan satu garis panduan dan juga ketika ini, kita pun turut mengadakan satu kempen, cukup untuk satu sudu teh untuk setiap pengambilan minuman dan juga kebaikan untuk mengurangkan kadar gula dalam minuman ini adalah sangat-sangat baik kerana kita perlu jaga kesihatan kita.
Selain daripada itu, kerajaan juga melihat keperluan untuk meletakkan label-label di dalam paket-paket makanan, di mana kandungan gula dinyatakan supaya rakyat lebih sedar pengambilan gula di setiap makanan yang dibeli. Sekian, terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua
Sebenarnya, saya boleh bagi ceramah sikit, Yang Berhormat baru-baru ini, tetapi Timbalan Menteri dah bagi. Tak apalah. Pengalaman saya di kawasan, apabila saya masuk ke kawasan Santubong 2004, satu Kawasan DUN mempunyai nisbah yang sangat tinggi kerana perubahan cara hidup, perubahan keadaan pengangkutan, perubahan daripada employment itu.
Dulu banyak mengerjakan, berpeluh-peluh dan sebagainya. Jadi, dia orang pun makan, tak apalah. Gula akan keluar tetapi bila dia dah menaiki motor, naik kereta, tak jalan kaki lagi, ketara nampak. Jadi, apakah saya buat? Saya panggil Leo Lion, tak panggil orang lain pun, masuk ke pendalaman untuk check semua ini, dalam kawasan itu.
Bila sudah check, saya bagi hantar same people memberi ceramah. Saya organise tempat sahaja. Beri ceramah sepanjangnya, hingga kita halangkan orang, jangan makan nasi banyak sangat sebab itu akan jadi gula juga. Jadi, akhirnya, pada tahun 2008, pengurangan itu mendadak.
Jadi, Ahli-ahli Parlimen mesti buat kerjalah. Jangan itu saja. Tanya dengan Menteri, apa nak buat. Sendiri kena buat juga. Terima kasih. Sila, Datuk Teo Eng Tee.
Datuk Teo Eng Tee @ Teo Kok Chee
Tan Sri Yang di-Pertua, soalan saya nombor 3.
3. Datuk Teo Eng Tee @ Teo Kok Chee minta Menteri Sumber Manusia menyatakan, perancangan kerajaan dalam mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing bagi subsektor perkhidmatan tukang gunting rambut, pekerja tekstil dan tukang emas.
Timbalan Menteri Sumber Manusia - Datuk Ts. Mustapha Sakmud
Terima kasih, Yang Berhormat Senator yang bertanya. Tan Sri Yang di-Pertua, kebenaran menggaji pekerja asing bagi tiga subsektor iaitu tukang gunting rambut, pekerja tekstil dan tukang emas adalah bersifat one-off.
Sehingga 30 November 2023, Kementerian Sumber Manusia telah meluluskan 60 kuota penggajian pekerja asing bagi tiga subsektor tersebut yang melibatkan 21 orang majikan. Jadi, maknanya, daripada kelulusan yang telah diberikan oleh pihak kerajaan, tolak PLKS sedia ada, kita masih ada berbaki, ya. Tolak yang sudah diluluskan, 5,487 kuota yang boleh dipohon untuk ke-tiga subsektor ini.
Majikan yang telah mendapat kelulusan kuota pekerja asing bagi tiga subsektor perkhidmatan ini merupakan permohonan yang telah mendapat kelulusan awal penggajian pekerja asing di bawah seksyen 60K, Akta Kerja 1955 dari Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung dan telah menghadiri temu duga bersama panel daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) selaku agensi kawal selia.
Tan Sri Yang di-Pertua, dalam keadaan ini, kementerian melalui jabatan dan agensi terbabit telah mengambil langkah-langkah proaktif untuk mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing bagi subsektor perkhidmatan tukang gunting rambut, pekerja tekstil dan tukang emas.
Dalam usaha menggalakkan anak muda menyertai sektor ini, kementerian ini melalui Jabatan Pembangunan Kemahiran telah membangunkan Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (NOSS) berkaitan subsektor perkhidmatan tukang gunting rambut, pekerja tekstil dan tukang emas.
Selain menyenaraikan keperluan kompetensi, NOSS juga secara jelas memperincikan potensi dan laluan kerjaya dalam subsektor ini yang dapat dijadikan rujukan.
Berdasarkan NOSS bagi tiga subsektor ini, Jabatan Pembangunan Kemahiran telah menyediakan program latihan kemahiran berserta pensijilan Sijil Kemahiran Malaysia, Tahap 1 hingga 5 untuk majikan dan pekerja tempatan.
Merujuk kepada statistik, sehingga 31 Oktober 2023, sebanyak 61,478 Sijil Kemahiran Malaysia dalam bidang pakaian dan tekstil, yang kebanyakannya melibatkan pakaian moden dan juga tradisionallah dan 491 dalam bidang gunting rambut telah dianugerahkan kepada pelatih yang telah tamat belajar.
Selain itu, majikan juga disyorkan untuk mendapatkan bantuan daripada Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) yang sedang bekerjasama dengan TEKUN untuk membantu majikan India memperkembangkan perniagaan, khususnya untuk tukang gunting rambut bercirikan tradisional dan semi tradisional, beralih kepada perniagaan moden melalui bantuan pinjaman kewangan.
Timbalan Menteri Sumber Manusia - Datuk Ts. Mustapha Sakmud
Langkah ini akan menggalakkan penyertaan lebih ramai tenaga pekerja tempatan, khususnya belia yang berkemahiran dalam teknik menggunting rambut moden.
Bagi subsektor tekstil dan tukang emas yang corak perniagaan spesifik kepada perniagaan India dan keagamaan, majikan disarankan untuk menawarkan pakej gaji yang menarik dan mengoptimumkan penggunaan tenaga pekerja asing sedia ada untuk melatih tenaga pekerja tempatan.
Kementerian ini akan membantu pihak majikan dalam mendapatkan tenaga kerja.
Namun begitu tertakluk kepada kesediaan pihak majikan untuk menggaji pekerja tempatan dengan menawarkan pakej penggajian yang lebih menarik dan bersedia mengubah dimensi perniagaan yang boleh menarik minat mereka terutama generasi muda. Sekian, terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua
Ya, sila Yang Berhormat.
Datuk Teo Eng Tee @ Teo Kok Chee
Tan Sri Yang di-Pertua, soalan tambahan saya. Ada kah Yang Berhormat Menteri Sumber Manusia akan mempertimbangkan semula kelulusan kemasukan pekerja asing setelah membekukan seluruh kelulusan berbilang pekerja asing bagi sektor industri yang lain di Malaysia memandangkan semua industri menghadapi masalah kekurangan pekerja yang sangat serius?
Datuk Ts. Mustapha Sakmud
Terima kasih kepada soalan tambahan daripada Datuk Teo, YB Senator kita. Buat masa ini Tan Sri Yang di-Pertua, kita telah membekukan sementara pengambilan pekerja asing ini disebabkan mengikut rekod yang kita ada, polisi kerajaan hanya membenarkan 15 peratus daripada pengambilan pekerja asing berdasarkan tenaga kerja yang kita ada.
Jadi setakat ini mengikut statistik, kita ada 2.7 juta yang berada di dalam negara ini berbanding sepatutnya 2.4 juta sahaja, yang sepatutnya 15 peratus. Jadi ini yang menjadi cabaran kepada kita di pihak kementerian dan juga kementerian-kementerian yang lain. Kita sedang meneliti permintaan-permintaan daripada pihak industri tetapi kita masih membuka secara one-off basis kepada mana-mana permintaan melalui persatuan ataupun perbadanan majikan yang memerlukan keperluan ini.
Kita akan menerima bukan individu, tetapi daripada segi persatuan ataupun badan majikan, kumpulan majikan yang memerlukan pekerja asing ini dan kita boleh meneliti dan mempertimbangkan jika ada permintaan yang mendesak. Okey, terima kasih.
Dato’ Sivaraj a/l Chandran
Soalan tambahan.
Tuan Yang di-Pertua
Ya, Sila Yang Berhormat, belakang. Tuan Amir bin Ghazali
Tuan Amir bin Ghazali
Terima kasih, Tuan Yang di-Pertua. Saban tahun kita melihat agensi di bawah kerajaan seperti GIATMARA, IKBN, dan juga MITRA serta juga teknikal dan latihan vokasional, mengeluarkan pelatih-pelatih gunting rambut, subsektor gunting rambut, tetapi akhirnya subsektor inilah menghadapi masalah di dalam negara kita iaitu gunting rambut dan mendandan.
Jadi apa langkah-langkah kementerian untuk membantu mereka ini yang keluar daripada skill technical, tetapi mereka tidak ada peluang untuk berniaga sendiri?
Kementerian harus melihat perkara ini, satu kepentingan subsektor gunting rambut ini.
Saya mohon supaya pihak kerajaan membantu pelatih-pelatih yang keluar daripada agensi-agensi kerajaan ini. Selain daripada mereka mahir tetapi mereka tidak ada tempat untuk membuka business sendiri.
Datuk Ts. Mustapha Sakmud
Okey, terima kasih Yang Berhormat Senator. Antara usaha yang dibuat oleh pihak kerajaan untuk subsektor gunting rambut yang disebut secara spesifik tadi. Kalau kita melihat polisi daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, kita ada Timbalan Menteri di sini. Memang telah mewajibkan untuk kita membuka satu-satu premis perniagaan itu mesti sekurang-kurangnya seorang mesti ada Sijil Kemahiran Malaysia.
Jadi ini akan mewajibkan, maknanya pekerja- bila majikan membuka perniagaan, mesti salah seorang yang ada Sijil Kemahiran Malaysia. Jadi ini sebenarnya membuka ruang kepada anak-anak muda kita.
Yang Berhormat Tan Sri Speaker, saya ingin maklumkan ini kehebatan anak-anak muda Malaysia ini. Dalam pertandingan WorldSkills ASEAN 2023, kita telah mendapat pingat emas pada tahun ini dalam bidang hair dressing- Emas, okey.
Juga baru-baru ini peserta yang sama yang menang peringkat ASEAN juga menang di peringkat Abu Dhabi, I mean di peringkat Asia, di Abu Dhabi. So, ini sebenarnya pencapaian kalau kita boleh gilap anak-anak muda ini memang daripada segi- bayangan kita punya peserta boleh bertanding peringkat ASEAN, Asia dan boleh menewaskan peserta, pelatih-pelatih yang lain daripada negara-negara lain. Ini kehebatan anak-anak muda kita.
Jadi ini sebenarnya kita cuba mengembangkan- kita bagi tahu kepada masyarakat di Malaysia terutamanya kita ada bakat-bakat tempatan yang perlu capitalise, dengan izin. Jadi ini- sayang sebenarnya, kita ada anak-anak yang hebat tetapi tidak mendapat ruang, tetapi itulah kita sedang cuba mengangkat imej TVET ini dan juga kita pastikan polisi-polisi kerajaan akan memastikan mereka mendapat tempat yang bersesuaian di sektor yang berkaitan.
Terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua
Betul Yang Berhormat.
Puan Rita Sarimah anak Patrick Insol
Tuan Yang di-Pertua, mohon soalan tambahan.
Tuan Yang di-Pertua
Sila Yang Berhormat.
Puan Rita Sarimah anak Patrick Insol
Saya lihat Tuan Yang di-Pertua- terima kasih, saya lihat sektor perkhidmatan yang berkaitan di sini iaitu tukang gunting rambut, pekerja tekstil dan tukang emas. Susah mana nak latih orang Malaysia untuk mengambil alih tugas-tugas ini, perkhidmatan ini.
Kedua, bilakah kerajaan akan memberi cut-off date daripada menggaji orang asing untuk menanggung perkhidmatan ini? Terima kasih.
Datuk Ts. Mustapha Sakmud
Terima kasih Yang Berhormat Senator. Tan Sri Yang di-Pertua, sebenarnya permintaan yang kita luluskan yang one-off ini hanya melibatkan masyarakat India sahaja, yang lain itu masih sektornya masih terbuka.
Cuma ini atas permintaan daripada wakil perindustrian India. Jadi ini yang kita sudah luluskan dan diharap ia tidak menjejaskan sektor-sektor yang lain, tetapi maknanya yang ini khusus untuk masyarakat India tetapi untuk sektor-sektor lain, anak-anak muda yang lain memang kita akan cuba mengembangkan bakat dia sebab ini melibatkan seluruh klien, pengguna yang tukang gunting rambut melibatkan masyarakat Malaysia.
Jadi yang itu kita tidak akan lupa. Itu yang saya sebut tadi kita akan mengembangkan TVET ini. Kita pastikan bakat tempatan generasi muda kita mendapat tempat di negara ini dan mereka dapat menjalankan- bekerja atau menjalankan perniagaan masing-masing.
Terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua
Betul Yang Berhormat. Kalau kita tengok Yang Berhormat, kedai Mamak pun masih bawa orang dari India Yang Berhormat. Padahal, kalau Yang Berhormat nak cuba pergi Kedai Pian ataupun Tok Janggut di Kuching, the best roti canai.
Itu latihan MARA dulu. They are the best, tetapi kenapa kita masih import orang dari India.
Jadi kalau Mamak ini nak buka, suruhlah latih orang tempatan. Terima kasih, Yang Berhormat.
Sekarang saya menjemput Yang Berhormat Datuk Bobbey Ah Fang Bin Suan.
4. Datuk Bobbey Ah Fang Bin Suan minta Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan menyatakan:
(a) senarai projek perumahan awam yang terbengkalai di seluruh Malaysia serta jumlah perumahan terbengkalai di Sabah dan Sarawak; dan
(b) pendekatan yang diambil untuk mengatasi masalah tersebut.
Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan - Tuan Haji Akmal Nasrullah bin Mohd Nasir
Terima kasih Tan Sri Yang di-Pertua. Untuk makluman Tan Sri Yang di-Pertua dan juga Ahli Yang Berhormat, walaupun kebanyakan projek kerajaan yang dilaksanakan memenuhi tempoh penyiapan yang ditetapkan. Terdapat juga projek yang dilaksanakan oleh kerajaan berada dalam kategori Projek Lewat Jadual dan Sakit.
Di bawah Pekeliling Perbendaharaan PK4.5, Tatacara Pengurusan Projek Sakit dan Pelantikan Kontraktor Penyiap bagi Projek Sakit, sesuatu projek awam dikategorikan projek sakit apabila;
(i) kemajuan kerja fizikal telah mengalami kelewatan melebihi dua bulan atau 20 peratus mengikut mana yang terdahulu, berbanding jadual yang ditetapkan dalam kontrak;
(ii) kontraktor adalah tidak berupaya untuk memperbaiki prestasinya.
Di bawah Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), terdapat satu jenis projek perumahan awam iaitu Projek Perumahan Rakyat yang dikenali sebagai PPR.
Ketika ini berdasarkan kategori yang ditetapkan tadi terdapat tiga projek sakit iaitu;
(i) PPR Seduan di Sarawak;
(ii) PPR Lahad Datu di Sabah; dan
(iii) PPR Sembrong di Johor.
Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan - Tuan Haji Akmal Nasrullah bin Mohd Nasir
Namun, bagi meminimakan projek dalam kategori ini KPKT melaksanakan tindakan untuk memantau prestasi pelaksanaan projek PPR yang bermasalah seperti berikut:
(i) projek yang mengalami kelewatan serta projek sakit akan dipantau melalui mekanisme dalaman seperti Majlis Tindakan Pembangunan Kementerian dan Jawatankuasa Contract Coordination Panel
(CPP);
(ii) penilaian dan pemantauan berkala akan dilaksanakan ke atas prestasi projek. Selain itu, pelaksanaan langkah pemulihan atau penamatan kontrak kontraktor sedia ada akan dibuat sekiranya perlu;
(iii) sekiranya penamatan dibuat, jaminan bon pelaksanaan atau jaminan bayaran pendahuluan akan dirampas daripada institusi kewangan yang menjamin pelaksanaan projek tersebut dengan kadar segera atau setakat mana jumlah yang tidak dibayar balik kepada kerajaan bagi jaminan bayaran pendahuluan; dan terakhir
(iv) kontraktor juga boleh dikenakan tindakan tatatertib termasuk dikenakan penalti atau disenaraihitamkan atas kegagalan memenuhi obligasi kontrak.
Selain itu KPKT juga giat melaksanakan pemantauan secara berkala selain melaksanakan penyelarasan bersama pihak berkuasa negeri serta agensi pusat seperti Unit Penyelarasan Pelaksanaan atau, dengan izin, lebih dikenali sebagai Implementation Coordination Unit (ICU) Jabatan Perdana Menteri untuk menangani isu-isu di luar kawalan kementerian Sekian, terima kasih Tan Sri Yang di-Pertua.
Tuan Yang di-Pertua
Yang Berhormat, minta penjelasan. Di Sarawak itu dekat mana?
Tuan Haji Akmal Nasrullah bin Mohd Nasir
Yang disebut tadi di Seduan, PPR Seduan di Sarawak, di Sibu.
Tuan Yang di-Pertua
Sarawak seluas Semenanjung Yang Berhormat. Sarawak itu seluas Semenanjung, di manakah itu?
Tuan Haji Akmal Nasrullah bin Mohd Nasir
Di Sibu, Tan Sri yang di-Pertua.
Tuan Yang di-Pertua
Okey.
Tuan Haji Akmal Nasrullah bin Mohd Nasir
Terima kasih Yang Berhormat.
Datuk Bobbey Ah Fang Bin Suan
Tan Sri soalan tambahan. Terima kasih. Melihat keadaan di negara kita ini seperti yang dinyatakan oleh Timbalan Menteri tadi masih ada projek-projek yang terbengkalai ini di Sabah, di Sarawak dan juga di sini. Jadi, apa jaminan kerajaan kepada mereka yang terlanjur membeli rumah-rumah ataupun unit ini sedangkan mereka ini sudah mendapat loan dan membayar loan, tetapi rumah ini tidak ada. Terima kasih.
Tuan Haji Akmal Nasrullah bin Mohd Nasir
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Terima kasih Yang Berhormat Senator. Sebab persoalan asal tadi berkaitan dengan perumahan awam. Itu bermaksud PPR yang mana PPR ini hanya akan dibuka atau diserahkan kepada pihak kerajaan negeri untuk pengisian selepas projek itu siap. Jadi, untuk PPR yang disebutkan tadi, masih belum ada senarai pembeli.
Cuma, saya dapat rasakan bahawa Yang Berhormat mungkin merujuk kepada pembeli rumah di luar sana yang membeli rumah tetapi rumah mereka itu gagal disiapkan mengikut jadual oleh pihak pemaju. Jadi di sini untuk di peringkat kementerian, fokus utama kami ketika ini untuk membantu bagi menyiapkan projek tersebut. Rumah, wajibnya disiapkan oleh pihak pemaju. Kerajaan hanya memantau. Jadi, sebab itu kita wujudkan task force untuk menilai dan membantu daripada segi mempercepatkan atau mempermudah perkara-perkara yang menyebabkan projek itu tergendala.
Bagi merujuk kepada kesan kepada pihak pembeli, untuk dipihak kementerian, kerana kawalan kami adalah kepada lesen pemajuan. Jadi, sebab itu tumpuan itu kepada projek. Namun, apabila ada pembeli yang datang tampil apabila projek mereka sakit ataupun terbengkalai, pihak kementerian akan mengesahkan ataupun mengeluarkan surat bagi membolehkan mereka mengadakan rundingan dengan pihak peminjam atau pemberi pinjaman.
Jadi dari sudut sini, di pihak kementerian kita cuba memudah cara untuk membolehkan pihak pembeli tadi yang menghadapi kesukaran untuk berunding balik daripada segi komitmen pinjaman. Cuma untuk langkah ke hadapan itu antara perkara yang perlu diteliti dalam keadaan untuk daripada segi menguruskan ataupun tata kelola menguruskan pinjaman itu terletak di bawah pihak Bank Negara, dalam keadaan KPKT lebih tertumpu kepada kemajuan projek di tapak-tapak projek tadi. Terima kasih Tan Sri Yang di- Pertua.
Puan Rita Sarimah anak Patrick Insol
Soalan tambahan.
Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai
Soalan tambahan.
Tuan Yang di-Pertua
Silakan.
Puan Rita Sarimah anak Patrick Insol
Terima kasih Tan Sri Yang di-Pertua.
Soalan saya merujuk kepada PPR Seduan di Sarawak. Apakah sebab projek itu terbengkalai?
Selaku- saya faham apa yang telah dinyatakan oleh Timbalan Menteri tadi tentang tindakan yang telah diambil itu memantau projek, tetapi sekiranya projek ini terbengkalai akibat daripada kekurangan daripada pihak kontraktor, adakah kerajaan telah menamatkan kontrak-kontrak tersebut dan melantik kontraktor lain untuk menyiapkan projek tersebut.
Terima kasih.
Tuan Haji Akmal Nasrullah bin Mohd Nasir
Terima kasih Tan Sri Yang di-Pertua.
Terima kasih kepada Yang Berhormat. Soalan Yang Berhormat spesifik kepada PPR Seduan yang saya sebutkan tadi. Berdasarkan rekod yang ada, PPR itu mengalami masalah yang sehingga jatuh kategori sakit kerana masalah tanah, daripada segi hak milik. Jadi, yang ini yang mana untuk di peringkat- bila berlaku perkara tersebut menyebabkan terdapat kelewatan untuk menguruskan permasalahan tersebut.
Cuma daripada segi apabila berlaku hak milik tanah yang masih belum selesai di antara pemilik tanah dan pihak kontraktor, ini membangkitkan permasalahan yang lalu, apabila PPR kebanyakan yang diuruskan sebelum ini dibuat secara rundingan terus. Maka sebab itu antara jaminan yang diberikan sebagai contoh dalam kes ini kontraktor dengan pemilik tanah itu kena selesaikan hak milik tanah, berdasarkan rekod yang saya ada inilah, tetapi bila berlaku masalah ini sudah pasti menimbulkan kesangsian terhadap kemampuan kontraktor itu untuk menyiapkan projek ini. Kerana bila tempoh masa yang panjang ataupun yang perlu diuruskan, sudah pasti kita boleh jangkakan daripada segi beban kewangan ataupun pengurusan di pihak kontraktor tadi daripada segi bagaimana untuk mereka menyelesaikan masalah yang tertangguh ini.
Maka sebab itu, untuk langkah ke hadapan, kalau Tan Sri boleh izinkan sedikit, untuk langkah ke hadapan, kerajaan membuat ketetapan beberapa perkara. Pertama, untuk projek- projek PPR yang akan datang, kontrak itu perlu dibuat secara tender terbuka. Tidak lagi boleh dibincangkan secara terus.
Kedua, syarat yang kita kenakan kepada kerajaan-kerajaan negeri dan mengutamakan negeri-negeri yang memberi tanah secara percuma ataupun bayaran secara nominal kerana kalau isu tanah ini tidak selesai dari awal, inilah yang akan menyebabkan perkara-perkara berbangkit.
Akhirnya apabila perkara ini tertangguh, maka prestasi kontraktor itu akan menjadi satu isu yang utama kerana sama ada mereka mampu untuk terus bertahan apabila masa yang lebih lama diperlukan untuk siapkan projek tersebut. Terima kasih Tan Sri Yang di- Pertua.
Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai
Soalan tambahan Tan Sri.
Tuan Yang di-Pertua
Eh, nak tanya juga?
Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai
Boleh?
Tuan Yang di-Pertua
Boleh. Tanyalah.
Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai
Terima kasih Tan Sri Yang di-Pertua. Memang mengenai soalan yang berkaitan perumahan kita telah beberapa kali berbangkit di Dewan Rakyat atau di Dewan Negara. Saya hendak alih kepada PRIMA- bahawa mohon Timbalan Menteri jelaskan apakah status perumahan PRIMA sekarang kerana baru-baru sahaja saya melawat website, laman sesawang PRIMA, belum adanya sebarang projek yang baharu terutamanya di wilayah tengah, KL, Selangor dan Putrajaya. Terima kasih.
Tuan Haji Akmal Nasrullah bin Mohd Nasir
Terima kasih Tan Sri Yang di-Pertua.
Terima kasih Yang Berhormat. Bagi status projek yang melibatkan pembangunan projek PRIMA, apabila berlaku peralihan kerajaan, legasi yang kami terpaksa pikul sebanyak 22 projek perumahan yang di bawah PRIMA ini berstatus sakit. Maka sebab itu bagi mana-mana pemaju, satu, dua projek sakit pun dah dikira masalah, kita ada 22. Maka sebab itu tumpuan untuk tempoh tahun pertama ini adalah untuk menyelesaikan masalah-masalah tertunggak kerana beban itu terpaksa juga dipikul oleh pembeli.
Maka sebab itu salah satu fokus di bawah task force yang saya mempengerusikan kita memang beri penumpuan khusus kepada projek-projek PRIMA.
Tuan Haji Akmal Nasrullah bin Mohd Nasir
Alhamdulillah, untuk tempoh 10 atau 11 bulan ini, sebanyak 11 projek perumahan itu telah berjaya kita siapkan dan dengan sasaran bahawa menjelang penghujung tahun 2024, tidak ada lagi projek sakit di bawah PR1MA ini. Tetapi pada masa yang sama, perancangan untuk ke hadapan itu memang diteliti oleh pihak pengurusan serta dengan pihak Lembaga Perbadanan PR1MA. Maka sebab itu, di sini saya memang menyatakan terima kasih kepada Yang Berhormat yang mengambil maklum berkenaan dengan masalah yang kita hadapi dalam sektor perumahan ini.
Jadi sebab itu, untuk bebanan daripada segi projek sakit ini, kalau tidak diselesaikan yang beban itu bukan sekadar pemaju tetapi juga pembeli, tetapi insya-Allah, untuk PR1MA, 22 projek sakit legasi yang kita warisi ini kita cuba selesaikan kesemuanya menjelang penghujung tahun 2024. Terima kasih Tan Sri Yang di-Pertua.
Tuan Yang di-Pertua
Terima kasih. Sekarang saya ingin menjemput Senator Dato' Sri Ti Lian Ker.
5. Dato' Sri Ti Lian Ker minta Menteri Komunikasi dan Digital menyatakan, garis panduan kerajaan terhadap penggunaan peralatan teknikal, peranti dan aplikasi perisian dari negara-negara khususnya dari Amerika Syarikat dan China di bangunan-bangunan dan premis kerajaan dalam melindungi data privasi negara daripada tersebar kepada negara luar yang mempunyai kepentingan tertentu.
Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital - Puan Teo Nie Ching
Terima kasih Tan Sri Yang di-Pertua dan terima kasih Ahli Yang Berhormat Senator.
Tan Sri Yang di-Pertua, dasar kerajaan pada masa ini tidak menghalang kemasukan atau penggunaan peralatan teknikal, peranti atau aplikasi perisian dari negara-negara tertentu untuk kegunaan agensi-agensi kerajaan mahupun di bangunan-bangunan dan premis kerajaan. Perlindungan keselamatan data dan kerahsiaan maklumat kerajaan adalah tertakluk kepada Arahan Keselamatan Pekeliling Berkaitan Keselamatan ICT serta Garis- garis Panduan di bawah seliaan Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan (CGSO) dan Agensi Keselamatan Siber Negara, Jabatan Perdana Menteri (NACSA JPM).
Kesemua arahan pekeliling serta garis panduan ini adalah berkuat kuasa di peringkat agensi-agensi kerajaan bagi memastikan data serta maklumat penting negara adalah terlindung, seterusnya dapat mengelak ia daripada tersebar dan tertiris termasuklah bagi konteks penggunaan apa jua bentuk peralatan teknikal, peranti dan aplikasi perisian.
Dalam hal ini, Kementerian Komunikasi dan Digital melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan CyberSecurity Malaysia turut berperanan memberi bantuan dari sudut teknikal seperti digital forensic mengikut keperluan dalam memastikan keselamatan data dan kerahsiaan maklumat serta bantuan dalam sebarang siasatan yang berbangkit berkaitan ketirisan maklumat dan kebocoran data.
Dalam menangani dan melindungi data negara daripada tersebar dan tertiris kepada luar negara, CyberSecurity Malaysia mencadangkan beberapa kaedah dan amalan terbaik bagi penggunaan peralatan teknikal, peranti dan aplikasi perisian, antaranya ialah:
(i) keperluan semua peranti, aplikasi dan sistem yang dibangunkan menjalani ujian penembusan keselamatan siber- vulnerability, assessment dan penetration test- VAPT, dengan izin, iaitu ujian keselamatan bagi mengenal pasti kerentanan yang terdapat pada sesuatu peranti, aplikasi dan sistem;
(ii) pensijilan peranti, aplikasi dan sistem yang dibangunkan seperti Malaysia Common Criteria (MyCC) dengan izin dan Technology Security Assurance (TSA) dengan izin, yang merupakan proses sistematik untuk menilai dan memperakui fungsi keselamatan produk ICT berdasarkan kriteria atau piawaian yang ditetapkan; dan
(iii) pelaksanaan perkhidmatan pemeriksaan postur keselamatan- secure posture assessment- SPA, dengan izin, secara berkala bagi mengenal pasti kerentanan ekosistem sedia ada dan juga bagi peranti, aplikasi dan sistem yang bakal dibangunkan.
Sekian jawapan saya. Terima kasih Tan Sri Speaker.
Dato' Sri Ti Lian Ker
Soalan tambahan Tan Sri.
Tuan Yang di-Pertua
Sila.
Dato' Sri Ti Lian Ker
Kita sedia maklum bahawa pengintipan siber antara dua kuasa besar dunia melibatkan infrastruktur kritikal di negara masing-masing yang juga melibatkan telekomunikasi, hab pengangkutan dan sebagainya. Ini pastinya mendatangkan kegusaran terhadap Dasar Keselamatan Negara.
Justeru soalan saya, apakah pandangan kerajaan mengenai dakwaan para penganalisis Microsoft dari Amerika Syarikat yang mendakwa kumpulan penggodam China iaitu Volt Typhoon sedang membangunkan keupayaan yang boleh mengganggu infrastruktur komunikasi kritikal antara Amerika Syarikat dan rantau Asia dalam krisis masa depan? Sejauh manakah ia memberi kesan dan implikasi pada Malaysia?
Soalan kedua, sejauh mana pemantauan kerajaan terhadap industri kritikal di negara kita seperti komunikasi, pembuatan, utiliti, pengangkutan dan pendidikan dan sebagainya?
Berkaitan keselamatan siber bagi memastikan Malaysia tidak menjadi mangsa atau tersepit akibat peperangan teknologi atau serangan siber antara kedua-dua kuasa besar ini, dengan izin elephant fight elephant, mouse deer die in between. Sekian.
[Ketawa]
Puan Teo Nie Ching
Terima kasih Tan Sri Speaker. Terima kasih Ahli Yang Berhormat Dato’ Sri. Jawapan saya, seperti yang saya sebut dalam jawapan pokok saya, sebarang garis panduan tentang keselamatan ICT adalah di bawah seliaan Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan (CGSO) dan juga Agensi Keselamatan Siber Negara
(NACSA) dan juga MAMPU. Jadi, agensi-agensi tersebut akan menyediakan garis panduan tentang critical infrastructure seperti telekomunikasi, perubatan, pendidikan dan sebagainya untuk sektor-sektor yang disenaraikan sebagai critical infrastructure. Itu pertama.
Kedua, untuk apa-apa aplikasi ataupun peralatan teknikal dan juga sistem peranti, kalau sekiranya CSM melalui pemeriksaan mereka mendapati bahawa memang ada unsur keselamatan, akan menjadi satu ancaman kepada keselamatan, jadi CSM akan bagi nasihat kepada kerajaan dan KKD juga akan melalui CSM mengeluarkan apa-apa garis panduan tertentu untuk menghalang sebarang peranti, aplikasi ataupun sistem dan sebagainya, tetapi sebelum kita menerima evidence ataupun bukti yang kukuh yang menunjukkan bahawa mana-mana satu- peranti, aplikasi, sistem ataupun software ada potensi menjadi satu ancaman kepada keselamatan ICT, jadi kita masih kekal pendirian kerajaan bahawa kami masih semua pihak diizinkan untuk mengguna pakai teknologi tersebut. Ini jawapan saya.
Terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua
Terima kasih. Saya jemput sekarang, oh.
Tuan Haji Hussin bin Ismail
Terima kasih Tan Sri Yang di-Pertua. Saya sikit membuat tambahan daripada persoalan itu sebab tidak dapat dinafikan pelbagai aplikasi telah tidak selamat, digunakan ini secara meluas di Malaysia. Ada beberapa contoh, saya tak nak sebutkan namanya sebab beberapa buah negara seperti Amerika, India dan sekarang juga Jepun turut menyekat penggunaan aplikasi tersebut. Ini permasalahan sebenarnya termasuk menjejaskan privasi dan kerahsiaan negara mahupun rakyat.
Jadi kalau kata kajian, negara lain pun sudah, Amerika dan India sudah buat. Jadi macam mana dengan stand kita dengan apa yang dibuat oleh negara-negara besar ini sendiri? Terima kasih.
Puan Teo Nie Ching
Terima kasih Yang Berhormat Senator Tuan Haji. Seperti yang saya sebut tadi, walaupun negara-negara lain ada menjalankan ujian mereka sendiri tetapi akhirnya negara kita, kami juga akan menjalankan ujian kita sendiri. CSM merupakan salah satu- agensi yang berkemampuan untuk menjalankan ujian tersebut. Jadi memang, kita faham bahawa sekarang oleh sebab faktor geopolitik, ada peralatan yang telah tidak diguna pakai oleh sesuatu negara tetapi peralatan tersebut mungkin masih diguna pakai di negara- negara yang lain. Jadi oleh sebab itu, Malaysia perlu ada pendirian kita sendiri dan kita perlu menjalani ujian kita sendiri.
Sekiranya kami menerima bukti yang kukuh menunjukkan bahawa sesuatu teknologi, sesuatu aplikasi, sesuatu peralatan adalah tidak selamat, kerajaan akan mengambil tindakan secara cepat untuk menghentikan ataupun block aplikasi tersebut, tetapi kecuali sehingga kita menerima bukti yang kukuh.
Kami tidak akan ikut langkah-langkah negara lain kecuali kita sendiri mendapati bahawa memang ada bukti yang kukuh. Itu jawapan saya. Terima kasih Senator.
Tuan Abun Sui Anyit
Mohon soalan tambahan.
Tuan Yang di-Pertua
Sekarang saya ingin menjemput Datuk Seri Dr. Mujahid.
Datuk Seri Dr. Mujahid bin Yusof
Soalan saya nombor 6.
6. Datuk Seri Dr. Mujahid bin Yusof minta Menteri Ekonomi menyatakan, usaha untuk melengkapkan maklumat data bersepadu bagi tujuan penyampaian bantuan yang lebih bersasar.
Timbalan Menteri Ekonomi - Dato Hajjah Hanifah Hajar Taib
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.
Tuan Yang di-Pertua, Mesyuarat Jemaah Menteri pada 21 Jun 2023 telah meluluskan pembangunan Pangkalan Data Utama (PADU) bagi memantapkan tadbir urus negara ke arah mewujudkan satu ekosistem yang lebih komprehensif dan sistematik. PADU berupaya memaparkan tahap sosioekonomi rakyat berdasarkan maklumat pendapatan, pekerjaan, pendidikan serta segala program bantuan yang diterima. Ini akan membantu kerajaan merangka dasar dan inisiatif yang lebih efektif berpandukan data dan seterusnya membolehkan rakyat menerima manfaat daripada pelaksanaan dasar yang lebih terancang dan bersasar.
PADU yang dijadualkan dilancarkan pada bulan Januari 2024 akan menyatukan data mikro daripada pelbagai agensi kerajaan bagi mewujudkan profil data semua individu dan isi rumah seluruh rakyat Malaysia. Dianggarkan sejumlah 454 buah institusi sektor awam meliputi kementerian, jabatan dan agensi kerajaan mempunyai pangkalan data masing- masing.
Agensi kerajaan yang beroperasi di negeri dan di daerah juga mempunyai pelbagai data yang granular sehingga ke peringkat lokaliti dan berfrekuensi tinggi. Oleh yang demikian, penglibatan semua agensi kerajaan dalam perkongsian data adalah penting dalam menjayakan PADU.
Bagi memastikan profil data yang lengkap, kerjasama strategik antara kesemua agensi yang berkaitan akan dipertingkatkan. Kerjasama berterusan ini akan menghasilkan profil data secara masa hampir sebenar dan analitik berkala yang berupaya digunakan sebagai alat pemantauan dan gambaran yang khusus kepada kerajaan.
Sesi libat urus telah diadakan bersama-sama agensi yang berkaitan seperti Kementerian Kewangan, Lembaga Hasil Dalam Negeri, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Jabatan Pengangkutan Jalan, Tenaga Nasional Berhad serta kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan bermula Ogos 2023 sehingga kini.
Alhamdulillah, kerjasama yang baik dan jitu telah diberikan bagi memastikan pembangunan PADU dapat direalisasikan. Isu berkaitan ketetapan data pula akan dapat diatasi melalui semakan dan pengemaskinian data oleh setiap individu bermula Januari 2024.
Data yang telah dikemas kini akan diserahkan bagi memastikan maklumat yang dikemukakan adalah tepat. Kerjasama dan sokongan semua pihak terutamanya rakyat adalah sangat penting bagi memastikan keberhasilan PADU.
Perkongsian data yang sistematik dan tersusun menerusi PADU akan berupaya menyatukan kesemua data di bawah satu- pangkalan data utama. Inisiatif ini akan membantu kerajaan memastikan kemampuan kedudukan fiskal dan kemampuan dalam menyediakan bantuan kepada rakyat terutamanya bagi menangani peningkatan kos sara hidup. Sekian, terima kasih.
Datuk Seri Dr. Mujahid bin Yusof
Tuan Yang di-Pertua, soalan tambahan saya.
Tujuan pangkalan data utama ini adalah untuk memastikan subsidi itu bersasar. Soalan saya fokus kepada mekanisme untuk kita memberikan bantuan setelah dikumpulkan.
Apakah cara mekanisme itu dengan melihat pendapatan belanja bersih individu atau kah pendapatan belanja bersih isi rumah atau kah pendapatan belanja bersih individu campur dengan pendapatan bersih isi rumah? Penting kerana ia akan menentukan cara bagaimana kita hendak mengeluarkan ataupun hendak memberikan bantuan. Apakah pihak kementerian telah ada satu- model pemberian bantuan itu melalui cash atau kah melalui kupon atau kah melalui volume penggunaan terkhusus kepada subsidi petrol yang memakan hampir 80 peratus daripada penggunaan subsidi? Sekian, terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Dato Hajjah Hanifah Hajar Taib
Tuan Yang di-Pertua, soalan yang dibawakan oleh Yang Berhormat Senator merupakan satu perkara yang relevan dan kami masih di dalam waktu untuk bekerjasama melalui pilot programme yang kita akan buat sesi libat urus bersama dengan rakyat bila kita mengemaskinikan maklumat-maklumat daripada mereka isi rumah.
Kita juga memastikan bahawa sewaktu ini, subsidi yang diberikan masih kekal dan kemudian bila dah dilengkapkan daripada segi PADU itu akan kita melaksanakan satu- dasar pertama semula subsidi menggunakan data PADU ini sebagai asas menentukan kumpulan sasar. Dijangka akan diumumkan oleh kerajaan pada bulan Jun 2024. Jadi, terima kasih kepada Yang Berhormat untuk memberikan maklumat ini supaya kita dapat memandangkan perbezaannya dan yang mana yang paling baik. Terima kasih.
Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai
Soalan tambahan, Tuan Yang di-Pertua.
Datuk Wira Dr. Mohd Hatta bin Md Ramli
Tuan Yang di-Pertua, soalan tambahan.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Saya ingin bertanya, pelaksanaan ini nanti adakah kontinjen kepada tersedianya Digital ID yang sedang diusahakan atau boleh dilaksanakan terlebih awal daripada itu kerana kalau bergantung kepada proses pendaftaran Digital ID ini, dia akan mengambil masa lagi? Terima kasih.
Dato Hajjah Hanifah Hajar Taib
Kita sebenarnya mempunyai perbezaan antara PADU dan Digital ID. PADU merupakan satu perangkaan data yang mengandungi maklumat individu manakala IDN iaitu pengenalan diri secara digital bagi memudahkan individu untuk melaksanakan urusan secara dalam talian.
Bagi pendaftaran dalam sistem PADU, pengguna mempunyai pilihan untuk mengesahkan identiti sama ada menggunakan electronic Know-Your-Customer (e-KYC) ataupun IDN. Sekian, terima kasih.
Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai
Soalan tambahan, Tuan Yang di-Pertua.
Tuan Yang di-Pertua
Okey, Yang Berhormat.
Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Mohon Timbalan Menteri jelaskan adakah pengumpulan data tersebut dilakukan secara terperinci?
Contohnya, seorang individu itu mungkin tidak mempunyai apa-apa tanggungan seperti pasangan, anak mahupun ibu bapa, tetapi dia terpaksa menanggung ahli keluarga yang lain seperti datuk, nenek, makcik dan kemungkinan adik-adik yang OKU. Individu sebegitu perlu layak menerima bantuan bersasar kerajaan. Mohon penjelasan. Terima kasih.
Dato Hajjah Hanifah Hajar Taib
Terima kasih Yang Berhormat. Sebenarnya kita cuba merangkumi semua yang daripada segi kepentingan supaya daripada segi pemberian bersasar itu selengkap yang boleh. Jadi, daripada maklumat yang kita gabungkan daripada agensi kerajaan, jabatan-jabatan semua akan memastikan bahawa jikalau seseorang itu dah mempunyai tanggungan kepada ibu-bapa, ia juga termasuk. Insya-Allah. Terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua
Terima kasih Yang Berhormat. Saya jemput Dato’ Juhanis binti Abd Aziz.
Dato’ Juhanis binti Abd Aziz
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Soalan saya, nombor 7.
7. Dato’ Juhanis binti Abd Aziz minta Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup menyatakan, tindakan kementerian sekiranya harga ayam di pasaran terus meningkat disebabkan tiada lagi subsidi dari kerajaan atau kawalan harga dikenakan.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup - Puan Hajah Fuziah binti Salleh
Bismillahi Rahmani Rahim. Terima kasih saya ucapkan kepada Yang Berhormat Senator Dato’ Juhanis.
Tuan Yang di-Pertua, sejak Kerajaan Perpaduan menamatkan subsidi ayam dan menamatkan harga kawalan ayam serta mengapungkan harga ayam pada 1 November 2023, harga ayam bulat standard dan super di pasaran runcit didapati stabil berdasarkan kutipan data sepanjang bulan November 2023 dari Bahagian Harga Barang Negara.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di mana harga purata di Semenanjung ketika ini dari RM8.08 sekilo hingga RM8.80 sekilo, bergantung kepada negeri. Secara amnya, harga purata ayam di Semenanjung setelah diapungkan jauh lebih murah dari harga kawalan sebelum ini iaitu RM9.40 sekilo.
Tuan Yang di-Pertua, kerajaan berpendirian bahawa tidak menetapkan harga kawalan ayam merupakan polisi terbaik dalam menjamin keberadaan bekalan yang stabil dan keterjaminan makanan serta merancakkan pemulihan ekonomi dalam sistem ekonomi pasaran bebas. Sekiranya harga ayam terus meningkat, kerajaan memiliki pelbagai punca kuasa daripada segi akta dan mekanisme bagi memastikan tiada elemen pencatutan di pasaran.
KPDN akan mendapatkan maklumat yang diperlukan dari syarikat-syarikat dalam rantaian bekalan berkenaan dengan stok bekalan dan harga.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup - Puan Hajah Fuziah binti Salleh
Daripada maklumat tersebut, KPDN akan tentukan sama ada terdapat elemen pencatutan dan tindakan seterusnya dapat diambil seperti memberi notis diikuti dengan pendakwaan. KPDN melaksanakan penguatkuasaan tegas dan berhemah di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 iaitu penguatkuasaan terhadap pencatutan atau pengambilan untung secara tidak munasabah oleh peniaga di bawah Peraturan-peraturan Kawalan Harga dan Antipencatutan 2018 yang mula berkuat kuasa sejak 6 Jun 2018.
Notis bertulis di bawah seksyen 21 AKHAP 2011 akan dikeluarkan kepada mana- mana pihak yang didapati menaikkan harga secara mendadak dan ketara untuk mendapatkan maklum balas dan penjelasan secara bertulis mengenai kenaikan harga bagi menentukan berlakunya elemen pencatutan. Penting bagi saya untuk menyatakan di Dewan yang mulia ini, ayam bulat standard pernah dijual pada harga tertinggi iaitu RM18 sekilo di Lawas pada 8 hingga 9 November 2023. KPDN bertindak pantas dengan tindakan memberi notis AKHAP 2011 kepada peniaga tersebut. Di masa yang sama, sebanyak 33 Notis AKHAP 2011 telah dikeluarkan di Terengganu bagi maksud yang sama.
Di samping itu Tan Sri Yang di-Pertua, approved permit untuk mengimport ayam bulat telah dimansuhkan oleh kerajaan di mana jika harga ayam melonjak dalam pasaran tempatan, para pengimport boleh mengimport ayam dari luar negara jika harga ayam luar negara lebih murah. Subsidi bersasar juga akan mula dilaksanakan seperti Bantuan Tunai Rahmah dan ini akan membantu mengurangkan impak kenaikan harga ayam pada masa hadapan. Jadi ia satu whole nation approach, Tan Sri Yang di-Pertua, ya. Kita sentiasa berbincang dengan kementerian-kementerian yang lain.
Pada masa yang sama kita juga menekankan tentang peranan pengguna Tan Sri Yang di-Pertua. Bagaimana pengguna boleh menentukan kuasa beli mereka, mereka hendak beli atau tak nak beli. Seperti yang Kerajaan Perpaduan laksanakan sepanjang tahun 2023, Inisiatif Payung Rahmah akan diteruskan pada tahun 2024 dan memastikan ayam sebagai salah satu komoditi yang dijual bagi mengurangkan impak kenaikan harga ayam jika berlaku kenaikan harga. Peruntukan RM200 juta untuk 2024 akan digunakan sepenuhnya bagi membantu rakyat mengurangkan beban kos sara hidup rakyat. Terima kasih Tan Sri Yang di-Pertua.
Dato’ Haji Husain bin Awang
Soalan tambahan.
Dato’ Juhanis binti Abd Aziz
Soalan tambahan saya Tan Sri.
Tuan Yang di-Pertua
Ya, sila Yang Berhormat.
Dato’ Juhanis binti Abd Aziz
Berapakah penjimatan yang dapat diperoleh oleh kerajaan berikutan daripada inisiatif ini dan apakah tindakan kerajaan bagi memastikan tidak wujudnya kartel-kartel yang memonopoli harga ayam di pasaran?
Puan Hajah Fuziah binti Salleh
Tan Sri Yang di-Pertua. Terima kasih Yang Berhormat Senator tadi atas soalan tambahan. Data detailed berkenaan penjimatan subsidi itu di bawah KPKM. Jadi saya perlu minta KPKM beri jawapan bertulis. Tapi seingat saya lebih kurang RM100 juta sebulan. Lebih kurang. Tapi saya perlu dapatkan maklumat betul- betul daripada KPKM.
Berkenaan yang kedua, soalan berkenaan dengan kartel. Kartel ini di bawah Akta Persaingan di bawah MyCC, Tan Sri Yang di-Pertua. Melalui akta ini, kita KPDN ada punca kuasa untuk mengambil tindakan sekiranya berlaku tindakan di mana ada berlaku pakatan untuk mengawal harga di sepanjang rantaian bekalan, Tan Sri Yang di-Pertua. Jadi, apabila kita rasa ada pakatan untuk mengawal harga makanan haiwan, contohnya atau di mana sahaja sepanjang rantaian bekalan, kita boleh menggunakan Akta Persaingan di bawah MyCC. Terima kasih Tan Sri Yang di-Pertua.
Tuan Yang di-Pertua
Ya, sila Yang Berhormat.
Dato’ Haji Husain bin Awang
Assalamualaikum warahmatullah. Terima kasih Tan Sri Yang di-Pertua. Baru-baru ini satu laporan berita yang memetik pandangan seorang pakar ekonomi daripada UUM yang menekankan keperluan mendesak usaha penghasilan dedak tempatan untuk mengurangkan kos operasi, ladang ternakan sekali gus menstabilkan harga ayam. Maka soalan saya, minta Menteri nyatakan apakah usaha kerajaan untuk mengurangkan kebergantungan kita pada bekalan bahan dedak import bagi menstabilkan harga ayam?
Puan Hajah Fuziah binti Salleh
Terima kasih atas soalan tambahan Yang Berhormat Senator. Tan Sri Yang di-Pertua, sekali lagi soalan ini di bawah bidang kuasa KPKM. Apa tanggungjawab KPDN ialah mengawal harga di hujung. Akta-akta yang di bawah kawalan KPDN seperti Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan ya, Akta Perlindungan Pengguna, Akta Kawalan Bekalan, itu semua di hujung rantaian bekalan. Jadi, di sepanjang rantaian bekalan itu dan di awal rantaian bekalan itu ia di bawah KPKM ya. Yang bawah KPDN hanya gula, kalau yang di sepanjang rantaian daripada pengeluaran ya. Tapi untuk yang lain-lain itu di bawah KPKM. Terima kasih Tan Sri Yang di-Pertua.
Tuan Yang di-Pertua
Terima kasih. Yang Berhormat Senator Datuk Dr. Haji Azhar.
Datuk Dr. Haji Azhar bin Ahmad
Tan Sri Yang di-Pertua, soalan saya soalan nombor 8. Terima kasih.
8. Datuk Dr. Haji Azhar bin Ahmad minta Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan menyatakan, inisiatif yang diambil Kerajaan dalam membantu golongan penjaja tanpa premis untuk mendapatkan lesen penjaja dan lokasi perniagaan khususnya di kawasan luar bandar.
Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan - Tuan Haji Akmal Nasrullah bin Mohd Nasir
Terima kasih Tan Sri Yang di-Pertua.
Untuk makluman Tan Sri Yang di-Pertua dan Ahli Yang Berhormat, Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) dengan kerjasama Pihak Berkuasa Tempatan
(PBT) sentiasa proaktif dalam memudahkan urusan permohonan lesen perniagaan kepada para peniaga tempatan tanpa premis iaitu yang menjalankan perniagaan di gerai-gerai kecil, tepi jalan dan lain-lain.
Sehubungan itu, inisiatif yang telah dilaksanakan oleh KPKT dan PBT adalah seperti berikut. Pertama, perlaksanaan manual pelesenan PBT bagi tujuan memudahkan dan mempercepatkan tempoh pengeluaran lesen perniagaan kepada peniaga. Antara penambahbaikannya iaitu kelulusan lesen perniagaan yang tidak berisiko dalam tempoh 24 jam seperti premis gunting rambut, kedai makan dan kedai pakaian.
Yang kedua, kelulusan lesen perniagaan berisiko dalam tempoh dua hingga 14 hari seperti lesen premis pusat hiburan, stesen minyak, bengkel kereta dan lain-lain yang perlu memenuhi syarat lesen serta sokongan agensi teknikal seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Kesihatan dan sebagainya.
Kedua, KPKT telah mempermudah dan mempercepatkan proses pengeluaran lesen dan permit perniagaan kecil melalui Pekeliling Bil. 3, Tahun 2008, Pengeluaran Permit Perniagaan Kecil Oleh PBT yang menggariskan agar PBT melakukan tindakan berikut iaitu:
(i) mempercepat dan mempermudah urusan pengeluaran permit perniagaan kecil dan jika perlu memberi kelonggaran kepada syarat sedia ada;
(ii) PBT memanjangkan tempoh masa dan hari perniagaan serta menambah petak-petak penjaja bagi perniagaan kecil yang dibenarkan di kawasan sedia ada seperti pasar pagi, pasar tani ataupun pasar malam;
(iii) seterusnya, permit dikeluarkan kepada hanya warganegara Malaysia sahaja dan pemilik permit hendaklah berada di tempat berniaga sepanjang masa; dan
(iv) pemantauan dan penguatkuasaan dilaksanakan secara berkala bagi memastikan aktiviti perniagaan kecil tidak menimbulkan masalah kacau ganggu.
Seterusnya perlaksanaan Garis Panduan Pengurusan Trak Bergerak iaitu makanan, barangan dan perkhidmatan di pihak PBT. Garis panduan ini adalah sebagai rujukan dalam pengurusan syarat lesen atau permit perniagaan dan kadar fi perniagaan trak bergerak seperti penyediaan lokasi perniagaan dan jenis perkhidmatan yang boleh ditawarkan.
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat juga, salah satu agenda utama di KPKT iaitu menyediakan kemudahan infrastruktur dalam kawasan pentadbiran PBT yang berpotensi tinggi bagi meningkatkan sumber hasil pendapatan PBT. Jadi untuk tahun 2023, KPKT telah meluluskan 3,289 unit kios kepada 114 PBT bagi program Inisiatif MyKiosk dengan kos sebanyak RM50 juta.
Program ini adalah bertujuan bagi menyediakan ruang niaga yang seragam, selamat dan selesa kepada peniaga-peniaga kecil dengan tawaran kadar sewa yang rendah, memulihkan sosioekonomi penduduk setempat dan menjana pendapatan tambahan PBT.
Sebanyak 2,485 unit yang telah siap.
Jadi selain itu, KPKT juga telah meluluskan projek pembaikan, penyelenggaraan dan menaiktaraf bagi perluasan Gerai Madani melibatkan sebanyak 30 buah gerai, medan selera di 29 PBT yang akan memanfaatkan lebih 200 orang peniaga di kalangan golongan B40 dengan peruntukan berjumlah RM15 juta. Sekian, terima kasih Tan Sri Yang di-Pertua.
Tuan Yang di-Pertua
Terima kasih Yang Berhormat.
Datuk Lim Pay Hen
Soalan tambahan.
Tuan Haji Hussin bin Ismail
Tuan Yang di-Pertua, soalan tambahan.
Tuan Yang di-Pertua
Sila Yang Berhormat.
Datuk Lim Pay Hen
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Terdapat beberapa laporan yang menyatakan terdapat kira-kira 20,000 unit medan selera, pasar awam dan gerai penjaja di seluruh negara yang masih terbiar dan tidak disewa oleh peniaga-peniaga kecil. Apakah punca berlakunya perkara ini dan adakah kerana kawasan yang kurang strategik dan apakah tindakan kementerian bagi memastikan premis-premis ini tidak dibiarkan begitu sahaja?
Sekian, terima kasih.
Tuan Haji Akmal Nasrullah bin Mohd Nasir
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, terima kasih Yang Berhormat senator. Persoalan ini saya telah jawab tempoh hari dalam Dewan Negara. Cuma bagi memperincikan lagi permasalahan yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat senator, seperti yang dilaporkan tadi memang terdapat premis-premis di peringkat PBT yang masih kosong ataupun tidak disewakan.
Jadi di sini memang di pihak KPKT melalui PBT juga, kami menggalakkan supaya ada inisiatif yang dibuat oleh pihak PBT bagi memastikan tapak-tapak itu diberikan peluang kepada mereka yang berkelayakan dan seterusnya menjana pendapatan ekonomi. Jadi antaranya, malah saya pun ada terlihat sebagai contoh, daripada segi pengiklanan tapak- tapak itu tidak hanya terhad kepada paparan di PBT sahaja, tetapi juga sekarang ini dibuat secara online malah di media sosial untuk tawaran-tawan tapak tersebut.
Bagi menjawab persoalan sekiranya lokasi tersebut perlu ditambah baik dan sebagainya, antara nasihat ataupun tindakan yang telah diambil oleh pihak PBT adalah bagi memastikan suasana di tempat tersebut ditambah baik. Jadi contohnya, daripada segi perniagaan itu, pencahayaan mungkin memainkan peranan yang penting. Jadi di peringkat KPKT sebagai contoh, memang kami mempunyai dana yang disalurkan kepada PBT untuk projek-projek kecil.
Jadi, yang ini memang kita serahkan kepada pihak PBT untuk mengemukakan sebarang permohonan bagi menambah baik infrastruktur yang secara tidak langsung atau secara langsung memberi peluang kepada kumpulan sasaran kita untuk berniaga dan secara langsungnya akan juga meningkatkan pendapatan hasil kepada pihak berkuasa tempatan.
Terima kasih Tan Sri.
Tuan Haji Hussin bin Ismail
Soalan tambahan.
Tuan Yang di-Pertua
Ya.
Tuan Haji Hussin bin Ismail
Terima kasih Tan Sri Tuan Yang di-Pertua. Golongan penjaja merupakan penyumbang keuntungan yang besar dalam ekonomi negara. Soalan saya ialah adakah kementerian mempunyai perancangan dalam memperkasakan Inisiatif Wilayah Bebas Niaga yang digerakkan di seluruh negeri di Malaysia ini supaya rakyat dapat menceburi dalam bidang perniagaan secara tidak langsung dan secara tidak langsung dapat merancakkan lagi ekonomi dalam sektor perniagaan ini di seluruh negara. Terima kasih, Assalamualaikum.
Tuan Haji Akmal Nasrullah bin Mohd Nasir
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, terima kasih kepada Yang Berhormat senator. Bagi persoalan sama ada cadangan daripada segi program yang disebut tadi, yang itu saya kena semak daripada segi status pelaksanaannya, cuma ketika ini di bawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan, antara penekanan yang dibuat untuk bagi membantu kumpulan peniaga kecil ataupun penjaja adalah pertama, untuk menaik taraf medan selera ataupun media niaga tadi.
Jadi untuk tahun ini, sebanyak 30 buah medan niaga yang telah kita naik taraf dengan perbelanjaan RM15 juta. Manakala perkara kedua yang saya sebut tadi adalah untuk memberi peluang MyKiosk ataupun kios-kios peniagaan ini yang disalurkan kepada pihak PBT. Jadi tahun ini sebagai contoh, daripada 3,289 yang kita tawarkan kepada PBT, sebanyak 2,485 unit kios ini telah siap dan diserahkan kepada 114 PBT.
Perancangan kerajaan yang mana telah diumumkan dalam Belanjawan 2024, Kerajaan Madani menambah lagi RM50 juta bagi meneruskan agenda untuk MyKiosk ini, cuma kita juga mengambil maklum balas daripada pihak PBT yang telah pun menerima kios- kios ini daripada segi penambahbaikan. Jadi antara cadangannya mungkin daripada segi unit itu kita mungkin terpaksa tingkatkan sedikit daripada segi nilaiannya.
Sebagai contoh kios yang ada pada hari ini, nilaian ketetapan yang kita buat iaituRM20,000 yang mana kios itu juga membekalkan tenaga secara solar untuk kegunaan peralatan kecil, yang tenaga kecil tetapi tahun hadapan atas feedback kita akan tingkatkan satu unit kios itu kepada harga RM25,000 supaya kelengkapan itu lebih memenuhi expectation para peniaga kecil kita di luar sana. Terima kasih Tan Sri Yang di-Pertua.
Tuan Yang di-Pertua
Terima kasih Yang Berhormat. Kalau Senator Tuan Haji belum puas hati dengan jawapan itu, yang mungkin juga idea berlainan...
Tuan Haji Hussin bin Ismail
[Bangun]
Tuan Yang di-Pertua
Tidak payah, saya saja sebut sahaja...
[Ketawa] Berjumpalah dengan Timbalan Menteri, beri macam mana cara bebas perniagaan itu. Itu saya hendak sebutkan sebab kalau di Sarawak, ada satu- bangunan yang besar, siapa sahaja boleh berniaga di situ, selepas itu tak ada lesen, tak ada apa. Collection daripada pihak majlis perbandaran akan buat collection di situ, masa itu juga. Siapa berniaga kena tax, esok dia tak ada, tak adalah. Jadi itu saya fikir yang dikatakan itu Yang Berhormat. Terima kasih. Sila Yang Berhormat.
Tuan Amir bin Ghazali
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Soalan kepada Timbalan Menteri iaitu berkaitan dengan Undang-undang Kecil Pihak Berkuasa Tempatan
(PBT) di seluruh negara yang tidak diselaraskan iaitu berkaitan tentang operasi premis- premis warga asing yang berniaga iaitu lesen diberikan kepada penduduk tempatan dan operasi yang dikendalikan oleh warga asing. Ini yang menyukarkan di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan untuk mengawal perkara ini.
Jadi, adakah kementerian ada undang-undang untuk mengawal isu tersebut iaitu premis dilesenkan tempatan, tetapi dikendalikan oleh warga asing. Di Bukit Mertajam banyak, di Permatang Pauh banyak, tetapi sering kali kita- tidak boleh diselesaikan sehingga sekarang. Apakah jawapan daripada Timbalan Menteri ?
Tuan Haji Akmal Nasrullah bin Mohd Nasir
Terima kasih Tan Sri Tuan Yang di- Pertua, terima kasih kepada YB Senator. Seperti mana perkara yang dibangkitkan oleh YB Senator tadi, bagi tujuan pelesenan sememangnya lesen itu hanya dikeluarkan kepada warga negara. Daripada segi lesen juga kalau kita lihat adalah untuk kebenaran bagi pengambilan pekerja asing juga tertakluk kepada perniagaan tertentu. Dalam konteks soalan asal tadi, kalau kita berbicara peniaga kecil atau penjaja. Penjaja sebenarnya tidak dibenarkan untuk mengambil gaji orang asing. Itu untuk penjaja, pasar tani kah, pasar malam kah, itu kena warga negara dan pemegang lesen itu kena berada untuk berniaga bersama.
Cuma masalah yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Senator tadi sememangnya kuasa ataupun undang-undang kecil di bawah pihak PBT ini tidak membenarkan kita membuat pemeriksaan terhadap warga asing tersebut sebab untuk menguruskan isu warga asing, ini terletak di bawah kuasa contohnya dalam negeri. Contohnya, diturunkan ke Jabatan Imigresen. Maka di sinilah antara cabaran yang kita akui, memang dihadapi oleh di pihak berkuasa tempatan tetapi memang punca kuasa itu untuk pihak PBT ini hanya untuk menyemak daripada segi pelesenan tadi.
Jadi sekiranya ada aduan awam, maka perlu diadakan operasi bersepadu kerana kalau hanya penguat kuasa PBT yang turun, kita tidak boleh ambil tindakan terhadap warga asing kerana punca kuasa itu tidak wujud. Maka sebab itu dalam kes ini, kalau ikut saya punca rancangan esok pun ada soalan sepatutnya untuk isu warga asing, jadi kalau ada kesempatan esok kita boleh berbicara dengan lebih mendalam. Terima kasih Tuan Yang di- Pertua.
Tuan Yang di-Pertua
Saya menjemput Tuan Haji Hussin bin Ismail.
Tuan Haji Hussin bin Ismail
Terima kasih Tan Sri Tuan Yang di-Pertua, soalan saya nombor 9.
9. Tuan Haji Hussin bin Ismail minta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan menyatakan, perbezaan Skim Insurans Takaful Agromakanan dan Skim Takaful Tanaman Padi dalam membantu melindungi kebajikan para petani dengan mengambil kira cuaca global yang ekstrem dan tidak menentu akhir-akhir ini.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan - Tuan Chan Foong Hin
Tan Sri Tuan Yang di-Pertua, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan
(KPKM) bersama Agrobank sedang membangunkan satu skim perlindungan untuk sektor agromakanan dengan kadar pampasan yang lebuh baik berbanding dengan pampasan yang diberikan kerajaan menerusi tabung bencana bagi melindungi komuniti pertanian yang terkesan akibat bencana alam, antaranya banjir dan kemarau serta ancaman penyakit dan makhluk perosak.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan - Tuan Chan Foong Hin
Sebagai permulaan, perlindungan ditumpukan kepada subsektor tanaman melalui Skim Takaful Tanaman Padi yang akan dilancarkan pada tahun 2024. Skim ini menawarkan caruman pada kadar RM60 satu hektar satu musim dengan kadar pampasan perlindungan sehingga RM3,000 sehektar semusim tanpa had keluasan hektar.
Pesawah yang mencarum akan menerima manfaat yang lebih baik berbanding dengan kadar pampasan di bawah Tabung Bencana Tanaman Padi (TBTP) sedia ada. TBTP hanya menawarkan RM1,800 sehektar dan tuntutan adalah terhad kepada maksimum tiga hektar sahaja.
Seterusnya, KPKM juga berhasrat untuk memperluaskan Skim Perlindungan Agromakanan ini kepada subsektor pertanian yang lain seperti ternakan, tanaman dan akuakultur. Sekian, terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua
Sila.
Tuan Haji Hussin bin Ismail
Soalan tambahan Tan Sri Yang di-Pertua. Pertamanya, apakah kedua-dua skim ini masih terpakai? Apakah petani yang mendapatkan bantuan tabung bencana masih lagi juga mendapat bantuan daripada segi Skim Takaful Tanaman Padi sekiranya berlaku bencana terhadap usaha mereka?
Apakah mekanisme yang digunakan oleh kerajaan dalam melaksanakan skim ini kepada petani?
Akhirnya, apa inisiatif ini atau bantuan yang disediakan juga oleh kerajaan terhadap sektor pertanian lain pun tadi disebut termasuk penanaman-penanaman umum yang lain seperti nanas, ubi, yang lain-lain yang mungkin turut terjejas akibat daripada bencana?
Terima kasih. Assalamualaikum.
Tuan Chan Foong Hin
Tan Sri Yang di-Pertua, okey. Sebelum pelancaran untuk skim takaful ini yang Tabung Bencana Tanaman Padi yang sedia ada masih kekal sehingga pelancaran yang dijangka- kita sasarkan kita hendak lancarkan pada bulan Mac seawalnya pada tahun depan.
Ini sememangnya tertakluk kepada kelulusan pihak berwajib seperti Bank Negara.
Dalam tempoh tersebut, pihak Agrobank sekarang bersedia dengan pemegang taruh sedang dalam fasa terakhir untuk memenuhi syarat yang dikenakan oleh pihak berwajib merangkumi aspek kesediaan operasi dan prosedur pre-operating readiness bagi proses pendaftaran, pentadbiran dan pengurusan tuntutan.
So, memandangkan ini merupakan perintis untuk skim takaful ini, so kita akan memfokuskan tumpuan kita untuk menjayakan pelancaran tersebut sebelum kita berbicara tentang macam mana hendak meluaskan skop ini kepada tanaman-tanaman dan juga subsektor yang lain. Sekian, terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua
Terima kasih Yang Berhormat. Ahli-ahli Yang Berhormat, selesai sesi pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan.
[Sesi Pertanyaan-pertanyaan bagi Jawab Lisan tamat]
Tuan Haji Hussin bin Ismail
Terima kasih Tan Sri Yang di-Pertua.
Usul saya bahawasanya saya Tuan Haji Hussin bin Ismail Ahli Dewan Negara memohon mencadangkan agar Majlis Mesyuarat ini ditangguhkan mengikut Perkara 17(1) dan (2) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat untuk mendesak Kerajaan Malaysia menyatakan sokongan solidariti tidak berbelah bahagi kepada rakyat Palestin dalam mempertahankan hak kedaulatan negara mereka sekali gus mengecam rejim Zionis Israel sebagai pengamal dasar apartheid, kekejaman dan penjajahan yang sedang berlaku di Palestin.
Usul ini merupakan- perkara tertentu kerana konflik perang antara Palestin dan rejim Israel merupakan suatu kepentingan kepada negara memandangkan Palestin mempunyai hubungan diplomatik dengan Malaysia. Maka, adalah penting untuk Malaysia secara konsisten bersuara menentang kezaliman Zionis dan terus berusaha untuk membawa keadilan buat penduduk Palestin.
Sebagai salah satu peranan penting yang perlu dimainkan oleh Malaysia dalam komuniti antarabangsa, usul ini berkehendak disegerakan kerana keangkuhan rejim Zionis Israel yang enggan untuk meneruskan gencatan senjata dan terus menggila dalam meragut lebih 15,500 nyawa insan yang tidak berdosa sejak 17 Oktober yang lalu.
Kenyataan dan pendirian berterusan Malaysia diperlukan bagi menggambarkan bahawa Malaysia akan diam dan membiarkan sahaja rejim Israel terus menerus melakukan serangan dan kekejaman ke atas lebih ramai rakyat Palestin yang tidak berdosa.
Usul ini turut melibatkan kepentingan ramai kerana perbuatan rejim Israel ini menyerang kawasan penempatan awam termasuklah sekolah, hospital dan kem pelarian Palestin serta tindakan memotong bekalan elektrik air dan makanan ke atas orang awam adalah bertentangan dengan undang-undang antarabangsa dan sekiranya keadaan ini berterusan, pastinya akan menjejaskan kestabilan dan keamanan dunia serantau.
Justeru, saya mendesak Kerajaan Malaysia agar terus berperanan di peringkat antarabangsa untuk menekan kuasa besar dunia agar segera menamatkan peperangan yang sedang berlaku ini. Besarlah harapan saya agar perkara ini mendapat pertimbangan sewajarnya daripada Yang Berhormat Tan Sri Yang di-Pertua Dewan Negara serta keizinan daripada Majlis Mesyuarat demi kepentingan rakyat.
Demikian usul saya. Sekian, *wabillahitaufik. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh...
[Tepuk]*
Tuan Yang di-Pertua
Terima kasih. Ahli-ahli Yang Berhormat, saya telah menerima satu Pemberitahu Usul di bawah Peraturan Mesyuarat 17(1) oleh Yang Berhormat Senator Tuan Haji Hussin bin Ismail pada Selasa, 5 Disember 2023.
Teks usul itu adalah seperti yang telah dibacakan oleh Ahli Yang Berhormat Senator Tuan Haji Hussin bin Ismail sebentar tadi yang seterusnya mendapat perhatian dan pertimbangan.
Bagi membolehkan perkara ini ditimbangkan oleh Majlis Mesyuarat, saya sebagai Tuan Yang di-Pertua hendaklah berpuas hati bahawa perkara yang dibangkit oleh Yang Berhormat Senator itu memenuhi tiga syarat.
Syarat pertama, ialah bahawa perkara itu bersifat tertentu. Syarat kedua, ialah bersifat bagi kepentingan orang ramai. Syarat ketiga, hendaklah disegerakan.
Saya telah meneliti perkara ini dan mendapati bahawa:
(i) Tertentu. Perkara ini adalah perkara yang tertentu;
(ii) Kepentingan orang ramai. Ia adalah bagi kepentingan orang ramai;
(iii) Berkehendak disegerakan. Perkara ini juga perlu disegerakan.
Oleh yang demikian, saya membenarkan usul ini untuk dibahaskan...
[Tepuk] Mengikut Peraturan 17(3), usul ini akan dibahaskan pada petang ini Rabu, 6 Disember 2023 di dalam Dewan ini bermula jam 4.30 petang hingga 5.30 petang.
Saya membenarkan pihak pencadang membahaskan selama 10 minit dan mengikut dengan perbahasan daripada Ahli-ahli yang lain mengikut kesesuaian masa yang ada.
Selepas itu saya akan meminta pihak kerajaan menjawab.
Tertakluk kepada permohonan dan pernyataan daripada Ahli-ahli Yang Berhormat bolehlah menyertai perbahasan itu mengikut kadar yang dapat diberikan pada petang ini.
Terima kasih.
Aturan Urusan Mesyuarat dibaca bagi menyambung semula perbahasan yang ditangguhkan atas masalah, “Bahawa rang undang-undang ini dibacakan Kali Yang Kedua sekarang” [5 Disember 2023]
Tuan Yang di-Pertua
Ahli-ahli Yang Berhormat, hari ini merupakan hari kelima iaitu hari terakhir perbahasan bagi Rang Undang-undang Perbekalan 2024. Di hadapan saya ada seramai berapa orang lagi? Ada 14 orang Ahli yang hendak bahas. Berhubung dengan itu, saya membuat ketetapan bahawa masa yang diberikan ialah 20 minit bagi setiap ahli yang hendak berbahas.
Maka dengan itu, saya ingin menjemput Senator Tuan Jaziri Alkaf Abdillah Suffian.
Sila Yang Berhormat.
Tuan Jaziri Alkaf Abdillah Suffian
Terima kasih Tan Sri Yang di-Pertua. Bismillahi Rahmani Rahim. Assalamualaikum, salam sejahtera kepada Tan Sri Yang di-Pertua dan rakan-rakan semua yang hadir di Dewan yang mulia ini. Alhamdulillah, terima kasih kepada Tan Sri Yang di-Pertua sekali lagi untuk memberi saya ruang dan peluang untuk membahaskan Pembentangan Belanjawan 2024 yang telah dibentangkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri.
Pembentangan Belanjawan 2024 adalah bagi mengumumkan dasar-dasar dan rancangan fiskal kerajaan untuk tahun hadapan. Saya ingin menyentuh mengenai beberapa perkara yang perlu dijelaskan oleh pihak kerajaan untuk memastikan belanjawan ini akan memacu pemulihan dan memaju ekonomi negara yang kita cinta ini.
[Timbalan Yang di-Pertua mempengerusikan Mesyuarat] Dato’ Seri Yang di-Pertua, isu pertama yang saya ingin membangkitkan adalah kesan SST yang baru diperkenalkan dalam Belanjawan 2024. Seperti yang kita ketahui, kadar cukai perkhidmatan akan dinaikkan daripada enam peratus ke-lapan peratus untuk perkhidmatan tertentu dan cukai keuntungan modal akan dinaikkan sebanyak 10 peratus untuk penjualan saham yang tidak tersenarai oleh syarikat tempatan.
Selain itu, kerajaan juga telah mengenakan cukai baharu untuk barangan mewah seperti barang kemas dan jam tangan berdasarkan nilai ambang barangan tersebut.
Walaupun Yang Amat Berhormat Perdana Menteri menyatakan bahawa pelancong luar boleh menuntut balik cukai yang dibayar semasa keluar Malaysia, tetapi saya bimbang kenaikan cukai baharu ini akan mendorong orang-orang kita, untuk membeli barang-barang mewah di luar negara seperti di negara-negara Eropah.
Seperti mana yang kita tahu, barangan mewah di luar negara iaitu 20 peratus lebih murah. So, dengan kenaikan SST ini mungkin kita akan melihat aliran duit kita lebih ke luar negara dan tidak akan memberi kesan positif kepada ekonomi negara kita. Ini merupakan satu isu yang perlu diberi pencerahan kerana ini akan memberi impak kepada masa depan negara dan berkait langsung dengan pertumbuhan ekonomi.
Saya ingin mengetahui apakah rasional di sebalik langkah-langkah peningkatan cukai-cukai ini selain daripada meningkatkan pendapatan negara. Adakah kajian dan hasil kajian daripada kajian tersebut yang dibuat oleh pihak kerajaan untuk kerajaan- berkenaan impak kepada ekonomi dan sosial daripada pengenaan cukai-cukai di atas.
Walaupun kita tahu cukai-cukai berkenaan adalah tertumpu kepada sektor-sektor tertentu, tetapi semua sektor adalah berkait langsung dalam rangkaian-rangkaian rantai bekalan supply chain. Ini akan memberi trickle-down effect yang akan memberi impak kenaikan harga dalam kebanyakan barangan harian.
Adakah kerajaan telah mengambil kira kesan inflasi, kos sara hidup dan daya beli rakyat yang dilihat kemungkinan akan terjejas akibat kenaikan harga barang dan perkhidmatan.
Saya juga ingin menyoal kerajaan mengenai pengagihan dan penggunaan hasil daripada pungutan cukai-cukai ini supaya pengagihan pendapatan akan memberi manfaat kepada rakyat Malaysia terutamanya golongan B40 dan M40. Adakah kerajaan telah memastikan bahawa hasil cukai ini akan digunakan untuk tujuan-tujuan seperti pembangunan infrastruktur pendidikan, kesihatan dan perlindungan sosial.
Adakah kerajaan juga akan menetapkan mekanisme pemantauan dan akauntabiliti untuk memastikan pengurusan yang cekap dan berintegriti terhadap hasil cukai untuk menangani isu ketirisan. Bagaimana kerajaan akan memastikan bahawa SST yang baharu tidak akan menjejaskan daya saing dan keuntungan perniagaan tempatan, terutamanya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang merupakan tulang belakang ekonomi negara. Adakah kerajaan akan memberi sebarang insentif dan pengecualian untuk perniagaan yang terjejas oleh SST baharu.
Adakah kerajaan akan meningkatkan kerjasama antara agensi-agensi cukai seperti LHDN, Lembaga Hasil Dalam Negeri, Kastam Diraja Malaysia (KDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk memerangi jenayah cukai. Bagaimana kerajaan akan menilai dan menyesuaikan kadar cukai yang dikenakan kepada sektor-sektor seperti sektor digital, sektor hijau, sektor kreatif untuk mengambil kira perkembangan dan perubahan dalam ekonomi global dan tempatan.
Adakah kerajaan akan memberi sebarang insentif pemudahan cukai untuk menggalakkan inovasi kelestarian dan kepelbagaian dalam sektor-sektor memandangkan sektor ini adakah sektor fokus masa depan negara. Bagaimana kerajaan akan memastikan bahawa SST yang baharu tidak akan menjejaskan kesejahteraan dan kualiti hidupan rakyat Malaysia terutamanya golongan yang dikatakan tadi yang kurang berpendapatan, golongan B40, golongan rentan seperti orang tua, orang kurang upaya (OKU) dan kanak-kanak.
Adakah kerajaan sudah ada perancangan untuk memberi sebarang bantuan atau subsidi untuk membantu rakyat menghadapi kenaikan kos sara hidup yang bakal dihadapi dengan SST baharu. Bagaimana kerajaan akan mengukur dan menilai kesan SST baharu terhadap pertumbuhan ekonomi.
Saya ingin bertanya pendapatan negara. Kelompangan pendapatan di Malaysia.
Adakah kerajaan akan menjalankan Penilaian Sosial Impak dan Ekonomi (SIA) atau Analisis Kos-Manfaat (CBA) untuk menentukan keberkesanan dan keadilan SST baharu. Saya mohon pencerahan daripada pihak kerajaan.
Dato’ Seri Yang di-Pertua, saya ingin menyentuh perbahasan saya mengenai pelaburan langsung (FDI) dan pelaburan langsung domestik (DDI) di Malaysia. Saya ingin menyoal kerajaan mengenai dasar-dasar dan inisiatif yang telah dilaksanakan untuk menarik dan mempertingkatkan pelaburan ini berbanding tahun-tahun lalu serta apakah langkah- langkah lanjut yang boleh diambil oleh kerajaan untuk memanfaatkan peluang dan cabaran yang timbul dalam pelaburan ini.
Adakah kerajaan telah memberikan sebarang inisiatif atau pemudahan cukai, kawalan modal atau peraturan perdagangan kepada pelabur DDI dan FDI untuk menggalakkan pelaburan dalam negara. Adakah perancangan kerajaan untuk menyelaras dan menyepadukan pelaburan DDI dan FDI dengan dasar-dasar ekonomi dan pembangunan yang lain seperti Dasar Pembangunan Wilayah, Dasar Pembangunan Sosial untuk memastikan bahawa pelaburan memberi manfaat kepada seluruh rakyat dan wilayah di negara kita. All-nation-approach.
Adakah kerajaan telah memperkukuhkan hubungan dan kerjasama dengan negara- negara rakan dagang terutamanya dalam konteks Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) yang telah ditandatangani pada tahun 2020 untuk memperluaskan dan mempelbagaikan pasaran dan sumber pelaburan FDI dan DDI.
Tuan Jaziri Alkaf Abdillah Suffian
Strategi-strategi jangka pendek dan panjang Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) untuk memberi saluran kepada industri-industri domestik yang tertumpu kepada sektor industri hijau, digitization, digitasi dan aeroangkasa untuk berkembang.
Berdasarkan GDP/KDNK mengikut jenis aktiviti ekonomi dalam RMKe-12 menunjukkan negara kita bergantung dengan perkembangan aktiviti seperti perlombongan REE dan kuari yang tidak selaras dengan usaha pengurangan karbon- decarbonization. Saya ingin bertanya, bagaimana kerajaan akan merancang...
Timbalan Yang di-Pertua
YB, YB, Dato’ Kesavadas ingin mencelah.
Tuan Jaziri Alkaf Abdillah Suffian
Oh.
Dato’ Kesavadas a/l A Achyuthan Nair
No.
Timbalan Yang di-Pertua
Oh, bukan mencelah. Saya ingat Dato’ bangun tadi pasal nak mencelah. Sila teruskan YB...
[Ketawa]
Tuan Jaziri Alkaf Abdillah Suffian
Oh, oh. YB boleh, boleh mencelah...
[Ketawa]
Timbalan Yang di-Pertua
Mencelah untuk keluar Dewan...
[Ketawa]
Tuan Jaziri Alkaf Abdillah Suffian
YB, sila duduk YB...
[Ketawa] Sampai ke habis.
Okey. Silakan. Sebelum dia request...
[Ketawa] [Tepuk] Terima kasih YB. Ya, terima kasih Datuk Yang di-Pertua. Bagaimana kerajaan akan merancang dan melaksanakan dasar-dasar dan inisiatif yang bertujuan untuk mengurangkan pengeluaran gas rumah hijau (GRH) dan meningkatkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui (TBD) dalam sektor-sektor yang utama seperti pembuatan, pengangkutan dan pertanian.
Datuk Yang di-Pertua, inisiatif yang dimaklumkan oleh Presiden Republik Indonesia- Joko Widodo pada 16 Ogos 2019 dalam Rancangan Pembangunan Jangka Panjang Nasional bermula pada 2020 hingga 2024, merupakan perancangan 20 tahun yang melibatkan lima fasa pembangunan untuk pemindahan ibu kota Jakarta ke Kalimantan Timur, IKN Nusantara.
Sebanyak 31 orang pelabur telah menyatakan hasrat dan komitmen mereka untuk pembangunan di IKN dengan jumlah keseluruhan 322 perjanjian persefahaman (MOU) yang telah ditandatangani. Antaranya adalah di Timur Tengah seperti UAE, Saudi Arabia, negara asia seperti Korea Selatan, Taiwan dan terdapat 10 buah syarikat Malaysia yang telah menyatakan Surat Niat- Letter of Intent dengan melibatkan 11 projek pada 9 Januari 2023 lalu.
Brunei-Indonesia-Malaysia-Philippines East ASEAN Growth Area (BIMP-EAGA), Borneo Economic Community (BEC), Emerald Belt Strategy (EBS) merupakan beberapa usaha yang bertujuan untuk merancakkan ekonomi serantau Borneo memandangkan perpindahan IKN ke Kalimantan Timur yang akan membawa limpahan besar pada Malaysia, khususnya untuk Sabah dan Sarawak.
Usaha-usaha ini melibatkan kerjasama antara tiga buah negara di Kepulauan Borneo iaitu Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia. Tertumpu pada pembangunan infrastruktur, pelancongan, alam sekitar, sosiobudaya, pendidikan di dalam dua buah koridor ekonomi iaitu Koridor Ekonomi Sabah-Sarawak-Kalimantan (SSKEC) dan Koridor Ekonomi Sulawesi- Mindanao (SMEDC). Adakah perancangan kerajaan untuk meningkatkan hubungan kerjasama dua hala dengan Indonesia, terutamanya dalam bidang perdagangan, pemerkasaan SME, pelaburan infrastruktur dan keselamatan untuk memanfaatkan peluang yang wujud daripada pemindahan ibu kota IKN Nusantara?
Malaysia merupakan rakan niaga Indonesia yang kelima tertinggi. Bilateral trade volume, dengan izin, mencecah jumlah RM130 bilion. Kerajaan harus memanfaatkan dan memperkukuhkan platform seperti Malaysia-Indonesia Business Council (MIBC) yang pernah saya menyandang sebagai pengerusinya tahun lepas. Tahun ini, pihak Indonesia Datuk Yang di-Pertua, menjemput saya ke sebelah Malaysia-Indonesia Business Council...
[Ketawa]
Timbalan Yang di-Pertua
Tahniah YB.
[Ketawa]
Tuan Jaziri Alkaf Abdillah Suffian
Ya, terima kasih kepada Bapak Jokowi. Jalinan kerjasama seperti organisasi Himpunan Peritel dan Penyewa Pusat Perbelanjaan Indonesia
(HIPPINDO) dan ATEC- ASEAN Trade, Tourism and Economic Council di Indonesia berpotensi mengukuhkan lagi perdagangan dua hala.
Saya berusaha dan mencadangkan agar kerjasama dan kolaborasi sebegini harus dinaikkan, harus dipertingkatkan supaya Malaysia akan menjadi rakan niaga keempat terbesar pada tahun-tahun yang mendatang. Saya ingin bertanya, apa cabaran- sorry, maaf.
Datuk Yang di-Pertua, saya ingin bertanya, apakah rancangan kerajaan untuk menaik taraf dan pembukaan CIQ baharu di Sabah dan juga penambahbaikan di Sarawak untuk tujuan meningkatkan kegiatan ekonomi rentas sempadan? Usaha seperti ini dapat mempromosikan dan mempertingkatkan potensi dan kelebihan Sabah dan Sarawak sebagai destinasi pelaburan, pelancongan, health tourism- kesihatan dan pendidikan yang menarik dan komprehensif.
Saya ingin bertanya, apakah dasar-dasar dan inisiatif yang dilaksanakan untuk menggalak dan menyokong perniagaan tempatan yang terlibat dalam perdagangan sempadan antara Malaysia dan Indonesia? Usaha meningkatkan jumlah transaksi perdagangan antara Malaysia dan Indonesia harus dipertingkatkan, sebagai contoh sempadan darat antara Sarawak dan Provinsi Kalimantan Barat. Kesan spillover effect daripada pemilihan IKN akan memberi impak yang besar kepada perdagangan sempadan, selain daripada nilai ekonomi pelancongan dan sosial budaya antara dua buah negara juga dapat dieratkan.
Salah satu inisiatif yang saya ingin ketengahkan, yang baru dibangunkan di Sarawak merupakan aplikasi KETEK yang bercadang untuk berkolaborasi dengan KETIK di Indonesia, untuk menjadikan penghantaran last mile produk Indonesia ke Malaysia dan juga sebaliknya.
Data produk-produk, data usahawan, data pelanggan boleh digunakan sebagai benchmarking dan perancangan antara dua buah negara, terutamanya di sempadan.
Selain itu Datuk Yang di-Pertua, perancangan untuk merancakkan ekonomi di Borneo adalah untuk- Maaf, saya ada typo di sini. Selain daripada- selain itu, perancangan untuk merancakkan ekonomi di Borneo adalah untuk membangunkan industri aeroangkasa dengan kolaborasi bersama negara luar seperti Rusia. Lokasi Sematan di Sarawak terpilih sebagai tapak pelancaran, rocket launch site kerana Sarawak mempunyai lokasi geografi yang strategik dan sesuai untuk pelancaran roket dan satelit ke orbit khatulistiwa menggunakan tenaga roket dan bahan api yang efisien berbanding lokasi-lokasi lain di Malaysia, malah di rantau ASEAN. Kita perlu memberi perhatian yang serius untuk perkembangan kerjasama pembangunan industri aeroangkasa negara.
Tuan Jaziri Alkaf Abdillah Suffian
Rusia mempunyai teknologi angkasa lepas yang lama dan tinggi. Kerjasama daripada segi tech transfer dengan pihak Rusia akan memberi manfaat pada Malaysia. Saya ingin menanyakan beberapa soalan kepada kerajaan.
Timbalan Yang di-Pertua
Panjang lagi Yang Berhormat?
Tuan Jaziri Alkaf Abdillah Suffian
Datuk Sri, tempoh hari kita baru hadir dalam Majlis Tempoh Tamat Ahli Dewan Negara dan saya merupakan calon terakhir dan mungkin pada hari ini Datuk Sri Yang di Pertua, saya punya perbahasan terakhir untuk tahun ini, maka saya mohon Datuk Sri Yang di Pertua untuk memanjangkan sedikit masa untuk saya.
Timbalan Yang di-Pertua
Saya tengok muka surat Yang Berhormat itu banyak lagi itu.
Tuan Jaziri Alkaf Abdillah Suffian
Selama 20 minit.
Timbalan Yang di-Pertua
[Ketawa] Yang Berhormat.
Tuan Jaziri Alkaf Abdillah Suffian
Sebab tidak lama Datuk Sri.
Timbalan Yang di-Pertua
Saya compromise.
Tuan Jaziri Alkaf Abdillah Suffian
Okey alhamdulillah.
Timbalan Yang di-Pertua
Kerana Yang Berhormat meminta, saya bagi 10 minit...
[Tepuk]
Tuan Jaziri Alkaf Abdillah Suffian
Okey 15 minit.
[Ketawa] . Apakah status dan kemajuan tapak pelancaran di Sarawak yang telah dilawati oleh Kerajaan Rusia pada tahun 2019? Adakah kita mempunyai perancangan kolaborasi selain daripada Rusia contohnya, teknologi daripada Egypt untuk membangunkan industri aeroangkasa negara?
Apakah langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan untuk membangun industri aeroangkasa dan bakat-bakat yang diperlukan dalam industri ini? Malaysia mempunyai potensi untuk menjadi main player di rantau Asia dalam space exploration.
Memandangkan momentum revenue negara berpotensi melebihi RM18 bilion pada tahun-tahun yang akan datang.
Datuk Sri Yang di Pertua, kita harus sentiasa mencari jalan-jalan baru untuk mempertingkatkan pendapatan negara. Saya ingin menyentuh mengenai karbon kredit. 54 peratus daripada negara kita diliputi oleh khazanah alam hutan rimba. 27 peratus daripadanya ialah Hutan Simpan Kekal. Kita harus menyatakan bersama rakan-rakan negara tropika di seluruh negara seperti Laos, Bulgaria, Cameroon, Mexico, Papua New Guinea, Venezuela, sebagai contoh yang kita adalah the lungs of the world, paru-paru dunia.
Saya ingin bertanya apakah pendirian kerajaan berkenaan penjualan karbon kredit dan sejauh mana pencapaian kita dalam isu ini? Bagaimana kita dapat- anggaran sayalah billions of carbon credit yang dapat di harnessed dalam potensi ini. Menurut Malaysian Timber Council, Malaysia mempunyai keluasan hutan seluas 18.27 million hektar. Kadar karbon kredit pada tahun 2023 tahun ini bernilai anggaran antara USD40 ke USD80 per metrik tan.
Karbon kredit per hektar untuk pokok berumur 30 tahun ke atas mencecah USD257.5.
Seorang Ahli
USD...
Tuan Jaziri Alkaf Abdillah Suffian
USD, correct USD ya. Kita memang mengambil nilai konservatif selama USD20 sahaja. Dengan bill of calculation Datuk Sri Yang di-Pertua, penjualan carbon credit ini dapat menambah pendapatan negara dalam satu tahun sebanyak RM432.8 bilion satu tahun, dua tahun 800. Dua tahun langsai hutang negara, *insya-Allah...
[Ketawa]*
Timbalan Yang di-Pertua
[Ketawa] Insya-Allah.
Tuan Jaziri Alkaf Abdillah Suffian
Saya mohon pencerahan kerajaan dalam inisiatif ini. Sebagai sebuah negara karbon negatif, I believe it is a carbon negative nation yang memberi peluang untuk kita merealisasikan alternatif revenue source saya mohon dengan izin. Datuk Sri Yang di Pertua, sebagai penutup, tidak sampai 20 minit.
Timbalan Yang di-Pertua
[Ketawa]
Tuan Jaziri Alkaf Abdillah Suffian
Pembekalan Bajet 2024 merupakan satu bajet penting dalam usaha kita untuk menjadikan Malaysia sebagai negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2023 seperti mana tertera dalam Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB 2023). Saya berharap Perbekalan Bajet 2024 ini akan membawa lebih manfaat kepada seluruh rakyat Malaysia dan memacu pembangunan mampan dan inklusif.
Datuk Sri Yang di Pertua, saya mohon menyokong. Terima kasih...
[Tepuk]
Timbalan Yang di-Pertua
Terima kasih Yang Berhormat. We will miss you
Tuan Jaziri Alkaf Abdillah Suffian
Oh.
Timbalan Yang di-Pertua
Ya. Terima kasih.
Sekarang saya jemput Yang Berhormat Senator Dr. Hajah Wan Martina binti Wan Yusoff.
Dr. Hajah Wan Martina binti Wan Yusoff
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Bismillahi Rahmani Rahim. Terima kasih Datuk Sri Yang di Pertua atas peluang yang diberikan kepada saya untuk membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2024. Izinkan saya memulakan dengan membaca maksud sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Ibn al-Najjar, “Allah SWT memberikan rahmat kepada seseorang yang berusaha mencari harta dengan jalan yang halal dan membelanjakannya dengan cara yang sederhana dan berhemah serta menabung kelebihannya untuk hari susah dan hajatnya”.
Tahniah diucapkan kepada Kementerian Kewangan kerana RUU Perbekalan 2024 telah diluluskan di Dewan Rakyat.
Tuan Yang di-Pertua, kos sara hidup yang meningkat adalah masalah utama yang dihadapi oleh rakyat. Rata-rata rakyat merungut akan kenaikan kos barangan keperluan harian. Mewakili rakyat terutamanya rakyat daripada kalangan B40 di luar bandar dan juga bandar amat mengharapkan belanjawan ini dapat membantu mereka yang memerlukan.
Kenaikan harga beras dan kekurangan beras tempatan sangat memberi kesan kepada rakyat. Oleh itu kerajaan seharusnya bertindak segera untuk menangani isu ini dengan mempertingkatkan usaha untuk lebih berdikari dalam sektor pertanian ataupun agromakanan. Negara kita masih lagi tidak mencapai tahap keberdikarian dalam bekalan makanan. Mengikut statistik 2019, data tanah terbiar yang sesuai untuk pertanian iaitu 103,563 hektar. Jadi adalah penting kepada kerajaan untuk terus berusaha memajukan tanah-tanah ini bagi memastikan keterjaminan makanan negara pada masa depan.
Soalan saya, adakah langkah-langkah segera, sederhana dan jangka masa panjang untuk memajukan tanah-tanah ini? Kelantan mempunyai kawasan tanaman padi luar jelapang sebanyak 13,982 hektar mengikut statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Pertanian pada tahun 2021. Isu utama kawasan penanaman padi di luar jelapang adalah tiada sistem pengairan yang menyebabkan kekurangan air. Oleh itu, penanaman padi hanya dapat dilaksanakan sekali setahun.
Masalah pengairan juga menyebabkan tanah-tanah sawah tidak diusahakan dan menjadi terbiar. Justeru itu, apakah tindakan kementerian untuk membantu masalah pesawah-pesawah luar jelapang ini untuk membolehkan mereka menanam sekurangnya dua kali setahun? Seperti yang diumumkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, subsidi ayam telah ditarik balik dan harga ayam telah diapungkan.
Dr. Hajah Wan Martina binti Wan Yusoff
Saya menerima aduan daripada Penternak-penternak Kecil Melayu Kelantan yang telah terkesan akibat daripada penarikan subsidi ini. Mereka tidak dapat menampung harga kos yang tinggi. Oleh itu mereka tidak dapat menyaingi harga ayam yang lebih murah daripada pengusaha-pengusaha berskala besar. Jadi, apakah inisiatif kerajaan dalam membantu penternak-penternak kecil ini?
Dato' Seri Yang di-Pertua, Tahun Melawat Malaysia telah ditetapkan semula pada tahun 2026 dengan peruntukan sejumlah RM350 juta bagi merancakkan promosi dan aktiviti pelancongan supaya Malaysia kembali sebagai destinasi pelancongan pilihan utama dunia.
Industri pelancongan ini diharapkan dapat mencetus dan meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara. Promosi kepada Tahun Melawat Malaysia perlulah dibuat secara meluas dan melibatkan semua negeri di Malaysia. Kerajaan juga perlu terokai sektor-sektor pelancongan yang baharu sebagai contoh memberi galakan kepada sektor pelancongan kesihatan rawatan dan kesihatan mental.
Dato' Seri Yang di-Pertua, apa komitmen kerajaan dalam membantu mempromosikan Kelantan kepada negara luar sebagai salah satu- destinasi pelancongan pada Tahun Melawat Malaysia 2026. Saya juga ingin bertanya, apa status permohonan Kerajaan Negeri Kelantan untuk pembangunan eko pelancongan di Dabong dan apakah ada peruntukan untuk pembangunan prasarana, kemudahan awam di lokasi-lokasi pelancongan di sepanjang Pantai Bachok yang sangat cantik seperti Pantai Senok yang mirip Pulau Nami di Korea, Pantai Impian dan juga kawasan peranginan yang kian menarik perhatian pelancong tempatan di daerah Jeli dan Kuala Krai contohnya di Dataran Kashmir dan juga Lata Janggut.
Peruntukan juga disediakan untuk pusat pelancongan Islam untuk membangunkan industri pelancongan mesra Muslim di Malaysia. Saya ingin tahu, apakah pelan tindakan kementerian untuk mempromosikan pelancongan Islam? Adakah Kelantan juga dilibat sama untuk mempromosikan pelancongan Islam, pelancongan ibadah atau seumpamanya ke peringkat antarabangsa? Seperti yang kita sedia maklum, antara yang popular di Kelantan adalah Madinah Ramadhan di mana ia telah menggamit ramai pelancong untuk melaksanakan ibadah puasa dan solat terawih berjemaah di sini.
Dato' Seri Yang di-Pertua, sejumlah RM80 juta juga disediakan untuk memelihara dan memulihara bangunan dan tapak warisan yang berpotensi diiktiraf oleh UNESCO. Untuk makluman Dewan yang mulia ini, Kelantan sedang berusaha untuk mewartakan Jambatan Kereta api Guillemard sebagai Tapak Warisan UNESCO. Jambatan ini yang juga dikenali sebagai Jambatan Kusial merupakan jambatan rel kereta api yang diperbuat daripada besi merupakan yang terpanjang dan yang kedua tertua di Malaysia yang masih lagi digunakan sehingga kini. Ia dibina pada tahun 1924 semasa penjajahan British. Pada tahun hadapan, genaplah usianya 100 tahun. Justeru itu, saya memohon kepada kerajaan supaya memasukkan lokasi ini sebagai salah satu dalam senarai yang menerima peruntukan tersebut.
Dato' Seri Yang di-Pertua, kita menyambut baik usaha kerajaan untuk menambah baik kemudahan visa on arrival, pas lawatan sosial dan tawaran multiple entry visa bagi menggalakkan kemasukan pelancong dan pelabur terutamanya dari negara India dan China.
Yang Amat Berhormat Perdana Menteri pula telah mengumumkan pengecualian visa selama 30 hari kepada pelancong dari China dan juga India mulai 1 Disember yang lalu.
Namun begitu, kebimbangan kita iaitu mengenai keselamatan dan kawalan imigresen yang mungkin akan timbul. Ia membawa kepada persoalan saya berapa ramai warga China yang telah tamat tempoh visa, tetapi masih belum pulang dan apakah tindakan lanjut yang telah diambil oleh kerajaan dan apakah langkah tambahan segera yang telah diambil oleh kerajaan untuk menjamin keselamatan negara.
Saya juga ingin bertanya, apakah tindakan keselamatan untuk pencegahan wabak penyakit? Seperti yang kita tahu negara China sedang menghadapi kenaikan kes mycoplasma pneumoniae, sejenis penyakit yang disebabkan oleh bakteria yang boleh merebak melalui droplet. Jadi, apakah langkah keselamatan di pintu-pintu masuk negara kita?
Dato' Seri Yang di-Pertua, teknologi AI telah berjaya menguasai kehidupan seharian dan setiap golongan kluster dalam masyarakat. Saya memohon penjelasan apakah persediaan kerajaan bagi memastikan literasi teknologi AI dan digital ini tidak memberikan kesan yang buruk dan juga tidak menyebabkan ketinggalan bagi golongan rentan terutamanya bagi kanak-kanak dan juga wanita. Apakah ada silibus untuk mendidik para pelajar dalam penggunaan alat dengan kebertanggungjawaban yang betul?
Pelan Pendidikan Negara akan tamat pada tahun 2025, sejauh mana progress pembinaan kurikulum baharu untuk murid-murid sekolah? Apakah perancangan jangka masa panjang kerajaan untuk sistem pendidikan negara? Apakah ada amalan terbaik negara luar yang telah diadaptasikan supaya kita tidak ketinggalan dalam pendidikan selaras dengan perubahan teknologi yang sangat cepat berubah?
Guru adalah orang yang terpenting dalam sistem pendidikan. Untuk mendidik anak- anak yang merupakan aset penting negara, guru perlulah diperkasakan dengan ilmu-ilmu baharu supaya anak-anak kita tidak ketinggalan. Oleh itu, bagaimana kerajaan merancang untuk melatih guru-guru untuk pelaksanaan kurikulum baharu.
Tuan Yang di-Pertua, Kementerian Pendidikan telah merekodkan penurunan penyertaan murid menengah atas dalam aliran Sains Teknologi Kejuruteraan dan Matematik kepada 40.94 peratus pada tahun 2022. Selain dari menubuhkan sebuah Jawatankuasa Khas STEM rentas kementerian dan menyediakan RM100 juta untuk menyelenggarakan dan menaik taraf makmal komputer sekolah dan memperoleh peralatan baharu untuk pembelajaran STEM, apakah usaha kerajaan dalam menyediakan kurikulum baharu yang boleh menarik minat pelajar kepada subjek STEM? Kalau kita merujuk kepada negara luar contohnya Finland, mereka memberi pendedahan seawal pra sekolah untuk menarik kanak- kanak kepada subjek STEM ataupun TVET. Mungkin MOSTI boleh memperluaskan program- program khusus kepada kanak-kanak bagi menarik minat mereka kepada STEM dengan kerjasama NGO di peringkat komuniti.
Dato' Seri Yang di-Pertua, program pembelajaran sepanjang hayat di kolej komuniti adalah wajar untuk menggalakkan komuniti rentan seperti OKU, Orang Asli, ibu tunggal dan juga warga emas supaya tidak ketinggalan untuk meningkatkan ilmu up-skilling ataupun re- skilling kemahiran yang baharu. Soalan saya, apakah kelayakan yang diperlukan untuk memasuki kolej dan adakah kompetensi pelajar diambil untuk memendekkan jangka masa kursus kerana ia akan menarik minat lebih ramai pelajar?
Dato' Seri Yang di-Pertua, Malaysia sedang menua dan bakal menjadi negara tua pada tahun 2030 apabila 15 peratus daripada rakyat kita berumur 60 tahun ke atas. Rakan- rakan Senator lain sudah banyak mempersoalkan apakah persediaan kerajaan dalam menghadapi isu ini, baik daripada segi kesihatan ataupun daripada segi kebajikan warga emas. Saya hanya ingin bertanya, apa strategi kerajaan dalam memastikan rakyat kita tidak menua dengan- rakyat kita menua dengan sihat tanpa menghadapi masalah kesihatan penyakit kronik yang boleh membebankan kerajaan dengan kos yang tinggi. Pencegahan berkali-kali ganda lebih murah.
Seperti yang sedang dialami oleh negara maju, Malaysia juga sedang mengekori jejak kadar kelahiran yang makin berkurang. Kelahiran hidup merekodkan penurunan 2.8 peratus kepada jumlah 110,354 kelahiran pada suku ke-tiga tahun ini berbanding 113,506 kelahiran dalam tempoh yang sama tahun lepas, menurut perangkaan demografi yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan. Manakala kadar kesuburan jumlah atau total fertility rate 2022 di Malaysia merekodkan penurunan dengan 1.6 orang anak bagi setiap perempuan berusia 15 tahun hingga 49 tahun. Bermakna sebuah keluarga hanya mempunyai seorang anak ataupun dua orang anak- 1.6. Kalau tahun 2021 – 1.7, tahun 2020 1.8.
Dr. Hajah Wan Martina binti Wan Yusoff
Jadi, antara faktor penurunan ini iaitu kos sara hidup yang meningkat, kos pendidikan anak yang tinggi, wanita yang berkarier dan juga berkahwin lambat. Trend penurunan kadar kesuburan ini berpotensi akan mengakibatkan berlaku krisis demografi seperti penyusutan pertumbuhan penduduk, penuaan penduduk dan kesan terhadap pembangunan sosioekonomi negara.
Oleh itu saya ingin bertanya, adakah usaha dan inisiatif kerajaan dalam meningkatkan kadar kesuburan seperti sokongan penjagaan anak-anak, sokongan kewangan, pendidikan prasekolah atau taska percuma, cuti bersalin, cuti paterniti yang lebih panjang atau galakan supaya wanita berkahwin di usia reproduktif yang ideal iaitu di usia 20- an?
Kementerian Wanita boleh melaksanakan kajian untuk kaedah terbaik bagi meningkatkan kadar kesuburan dan kelahiran negara. Tuan Yang di-Pertua, akses kepada perkhidmatan primer kepada semua rakyat terutama di kawasan luar bandar dan pendalaman perlu saksama. Oleh itu, kemudahan-kemudahan kesihatan baharu diperlukan bagi masyarakat luar bandar bagi memastikan pengagihan perkhidmatan penjagaan kesihatan sama rata di seluruh negara selaras dengan matlamat perlindungan kesihatan sejagat.
Kerjasama sektor awam dan swasta merupakan kaedah yang terbaik dalam penyampaian perkhidmatan kesihatan primer. Skim Perubatan Madani boleh memberi manfaat kepada rakyat terutamanya di luar bandar dan pada masa yang sama boleh mengurangkan beban kakitangan awam di klinik-klinik kesihatan.
Saya mendengar rintihan rakan-rakan dari Sabah dan Sarawak yang tidak mempunyai klinik-klinik swasta di kawasan pendalaman. Oleh itu rakyat di sini sukar mendapat akses kepada perkhidmatan kesihatan primer.
Justeru itu, kerajaan perlu membina lebih banyak klinik-klinik kesihatan yang menempatkan sekurang-kurangnya satu ataupun dua orang doktor selain pembantu perubatan dan jururawat di sini. Kerajaan juga memperuntukkan RM200 juta bagi menyumberluar pesakit-pesakit ke hospital tentera, universiti dan swasta untuk mengawal kesesakan di hospital KKM. Persoalan saya bagaimana mekanisme perlaksanaannya dan siapakah yang layak dirujuk ke hospital-hospital ini?
Datuk Yang di-Pertua, kerajaan memperuntukkan RM50 hingga RM100 ribu untuk pembangunan desa di bawah Program Komuniti Madani. Soalan saya bagaimana peruntukan ini disalurkan kepada komuniti desa? Apakah NGO juga layak memohon untuk melaksanakan program pemerkasaan komuniti desa ini? Sebagai contoh, saya sendiri mempengerusikan sebuah pusat pembangunan wanita desa di kawasan saya yang dinamakan Darul Niswah, Jelawat, di mana latihan-latihan kemahiran dalam bidang jahitan, kraf tangan, kulinari dan lain-lain lagi yang dilaksanakan secara percuma kepada wanita- wanita desa. YB-YB Ahli Dewan dijemput untuk melihat sendiri pusat saya ini selepas musim tengkujuh nanti.
Adakah organisasi saya ini layak memohon? Saya bertanya begini bukan untuk diri saya tetapi untuk manfaat 45 buah pusat pembangunan wanita di Kelantan yang seumpama tempat saya yang juga diuruskan oleh NGO-NGO.
Datuk Yang di-Pertua, untuk makluman Dewan yang mulia ini di Kelantan sedang melalui musim banjir. Sudah banyak tempat dinaiki air dan saban tahun Kelantan menghadapi masalah ini. Rantau Panjang, daerah sempadan yang sentiasa ditenggelami air, sudah beberapa hari mereka di pusat pemindahan sementara kerana air masih belum surut walaupun hujan sudah berkurangan.
Pada bulan Disember tahun lepas, Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi telah mengumumkan peruntukan RM12 juta bagi menyediakan enam unit pam bergerak berkuasa tinggi bagi mengatasi banjir termenung. Oleh itu saya ingin bertanya, apakah proses perolehan pam tersebut sehingga kini?
Datuk Yang di-Pertua, pada bulan lepas saya telah menghadiri Kursus Kesiapsiagaan Menghadapi Banjir yang telah dijalankan oleh Kerajaan Negeri Kelantan dengan kerjasama Jabatan Bomba dan NADMA. Saya telah berpeluang untuk menyaksikan demonstrasi menyelamatkan mangsa banjir menggunakan alat inovasi terbaru dari Balai Bomba Pasir Mas yang dinamakan RBC ataupun Rescue Buoy Control yang merupakan satu alat yang direka cipta hasil dari gabungan Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Mas dan Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang dalam Pertandingan Kumpulan Inovasi dan Kreatif
(KIK) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Peringkat Kebangsaan dan telah mendapat tempat ketiga. Ini rupanya...
[Menunjukkan dokumen berkaitan] Saya membawa ke Dewan ini hasrat daripada Balai Bomba di kawasan Pasir Mas yang merayu saya menyampaikan agar kerajaan memberi sumbangan geran penyelidikan bagi meningkatkan mutu produk RBC supaya setanding negara luar. Memang saya tengok dan saya pun kagum dengan inovasi ini.
Akhir sekali, saya minta tambahan satu ataupun dua minit untuk khusus mengenai krisis air Kelantan. Saya ingin bertanya beberapa soalan..
Timbalan Yang di-Pertua
Boleh YB, tiada masalah. Profesor Awang pun dia bagi laluan. Lepas ini dia.
Dr. Hajah Wan Martina binti Wan Yusoff
Saya ingin bertanya beberapa soalan.
Selain ECRL yang dijangka siap pada tahun 2028, adakah kerajaan berhasrat untuk membangunkan Kelantan melalui jaringan jalan dan pengangkutan awam dengan kerjasama kerajaan negeri melalui pembinaan LRT sebagaimana ketersambungan jaringan pengangkutan di Pulau Pinang ke Seberang Perai?
Yang keduanya, apakah keseriusan Kementerian Pengangkutan untuk menyambung semula penerbangan terus Kelantan ke Langkawi yang dilihat telah membawa peluang pelancongan bagi rakyat Kelantan? Tahun depan tahun 2024 merupakan Tahun Melawat Kelantan.
Tuan Yang di-Pertua, yang kedua terakhir. Saya sekali lagi ingin bertanya di Dewan yang mulia ini supaya saya mendapat jawapan lisan dan direkodkan di dalam Dewan yang mulia ini. Pertama, saya ingin tahu status permohonan menaik taraf Jalan FT-207 Jalan Pasir Mas-Salor dari Simpang Batu Empat di Kota Bharu sehingga ke Simpang Salor di Pasir Mas, Kelantan? Yang keduanya, menaik taraf laluan D110 dari laluan Tiong ke Pasir Tumboh. Yang ketiganya, pembinaan jalan dalaman utama, pembangunan Bandar Baru Tunjong, Kota Bharu. Projek ini amat penting dan perlu disegerakan dan seiring dengan pembinaan Kompleks Gunasama Persekutuan di Bandar Baru Tunjong.
Implikasi jika kita tidak melaksanakan projek ini ia akan mengakibatkan kesesakan yang melampau yang dianggarkan lebih 3,000 buah kenderaan dalam satu masa akan terlibat dalam kesesakan lalu lintas.
Tuan Yang di-Pertua, sebelum saya mengakhiri perbahasan saya ini, saya ingin menyentuh sikit mengenai isu kesihatan mental di kalangan kanak-kanak dan remaja yang kian meningkat terutama kes-kes mencederakan diri sendiri. Apakah tindakan kerajaan dalam isu ini? Apakah perancangan- plan kerajaan untuk membina generasi yang mempunyai daya tahan yang tinggi sama ada dari sudut kerohanian ataupun dari sudut keagamaan? Apakah program yang dilaksanakan oleh JAKIM untuk melahirkan generasi yang kebal daripada segi mentalnya?
Apakah pula perancangan kementerian untuk menyediakan lokasi-lokasi yang sihat ataupun taman-taman untuk anak-anak kita lepak dan berekreasi secara sihat? Sekurangnya satu buah kawasan, satu DUN ataupun satu- daerah ada tempat untuk anak-anak ini lepak?
Apakah pula peranan KRT untuk memastikan keselamatan anak-anak kita ini di kejiranan?
Tuan Yang di-Pertua, dalam masa yang singkat ini saya telah cut banyak daripada soalan-soalan saya. Jadi untuk itu, saya mohon menyokong. Sekian, terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua
Terima kasih Dr. Martina. Sekarang ini saya jemput YB Senator Datuk Prof. Dr. Awang bin Sariyan. Datuk Awang, Datuk Awang ada 31 minit. Sampai waktu makan tengah hari lah...
[Ketawa]
Datuk Seri Prof. Emeritus Dr. Awang bin Sariyan
Terima kasih Datuk Yang di- Pertua. Kata orang, “Penantian itu satu penyeksaan.”
Timbalan Yang di-Pertua
Rezeki, rezeki.
Datuk Seri Prof. Emeritus Dr. Awang bin Sariyan
Tetapi saya berpegang pada ayat...
[Membaca sepotong ayat Al-Quran] “Allah bersama orang yang sabar”, maka Allah memberikan kemudahan untuk saya mendapat peluang atau giliran menyampaikan perbahasan. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. *Bismillahi Rahmani Rahim...
[Membaca doa]* Datuk Yang di-Pertua, pertama sekali saya mengucapkan tahniah kepada kerajaan kerana menggariskan hal-hal penting yang berkaitan dengan perancangan ekonomi negara bermula dengan penyataan hala tuju ekonomi negara di bawah payung ekonomi MADANI.
Antara lain yang digariskan termasuklah memperkasakan rakyat, Pelan Peralihan Tenaga Negara, Pelan Induk Perindustrian Baharu 2023 dan Belanjawan MADANI. Saya singkatkan yang lain. Beberapa pencapaian yang telah dinyatakan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan tentang kejayaan pertumbuhan ekonomi dalam tempoh seperti setakat Oktober telah berlaku penurunan inflasi daripada empat peratus kepada 1.5 peratus dan beberapa data lain yang saya kira tidak akan saya ulang.
Keduanya Tuan Yang di-Pertua, saya terus ke bahagian berkaitan dengan lunas- lunas penting pembangunan negara yang perlu diberi perhatian oleh kerajaan. Sebagai asas perbincangan untuk maksud memperkukuh rancangan ekonomi negara, saya bermula dengan penegasan beberapa lunas penting yang saya huraikan seperti yang berikut; Pertama, keperluan kerajaan menegaskan dan memperjelas falsafah pembangunan negara supaya pembangunan negara tidak berlangsung semata-mata sebagai satu proses yang mekanikal sifatnya. Falsafah penting dalam segenap aspek kehidupan apatah lagi dalam soal pembangunan negara. Falsafah bukan retorik permainan bahasa atau pernyataan utopia yang tidak mungkin tercapai. Sebaliknya, falsafah menggariskan hala tuju dan pengisian program pembangunan negara.
Kedua, lunas utama pembangunan negara berkaitan rapat dengan cita-cita atau aspirasi negara. Antaranya termasuklah keadilan sosial, perpaduan, patriotisme, pembangunan yang berasaskan jati diri, nilai dan budaya negara, kesihatan fizikal dan kesihatan mental serta keselamatan. Baru sebentar tadi Yang Berhormat menyebut soal kesihatan mental yang pada saya sangat perlu diberi perhatian. Dalam konteks ini, maqasid syariah sewajarnya menjadi titik perhatian para perancang dan pelaksana pembangunan negara.
Tentang kesihatan, saya menegaskan aspek kesihatan mental dan kejiwaan secara khusus di sisi kesihatan fizikal kerana dalam tekanan kehidupan semasa yang kian mencabar, kian bertambah manusia, termasuk di negara kita, yang mengalami masalah kesihatan mental dan kejiwaan sehingga pembangunan negara perlu mengatur program khas untuk memelihara kesihatan aspek tersebut. Adakah ini bermakna, negara maju berpendapatan tinggi, meningkat KDNK dan canggih prasarananya jika semua aspek yang berkaitan dengan cita-cita negara tidak terpenuhi? Sesungguhnya program pembangunan ekonomi merupakan wasilah, sementara pembangunan aspirasi negara merupakan matlamatnya.
Yang ketiga, berkaitan dengan itu perlu dihayati dengan jelas oleh perancang dan pelaksana program pembangunan negara agar semua aspek kehidupan yang mewakili makna tamadun atau peradaban diberi perhatian secara seimbang dan holistik meskipun tentu ada pertimbangan keutamaan dalam sejumlah keutamaan. Pembangunan perlu senantiasa dipertalikan dengan pembangunan sosial, pendidikan, kebudayaan, bahasa, persuratan atau kesusasteraan, kelestarian alam sekitar selaras dengan taklif manusia sebagai khalifahtullah fil ardh atau khalifah Tuhan di muka bumi yang berkewajiban menjaga, memelihara dan memulihara kehidupan dan alam daripada kerosakan dan kebinasaan.
Soal membentuk warganegara yang berakhlak, bersahsiah positif, berintegriti, mengamalkan budaya ilmu dan budaya berfikir serta kreatif dan inovatif merupakan hasrat pokok dalam pembangunan negara yang perlu sentiasa diperingatkan pada perancang dan pelaksana program pembangunan negara.
Peringatan Perdana Menteri yang sering dinyatakan, iaitu kecemerlangan tanpa jiwa, dengan izin, excellence without a soul yang diinspirasikan daripada buku dengan judul sedemikian karya Harry R. Lewis perlu diterjemahkan dalam pelaksanaan program pembangunan negara. Kita mendambakan warga negara yang bukan sahaja mencapai tahap sosioekonomi yang tinggi bahkan mempunyai daya fikiran yang tinggi juga apatah lagi dalam kalangan pemimpin di pelbagai peringkat.
Yang keempat, asas pembangunan negara amat rapat dengan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan. Sejajar dengan kedudukan Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi negara, semua pemimpin dan rakyat wajib dengan ikhlasnya menghormati dan menghayati Perlembagaan Persekutuan. Usahlah lain di mulut, lain di hati atau telunjuk lurus kelingking berkait.
Tidak wajar sesiapa jua mempersoalkan peruntukan teras dalam Perlembagaan Persekutuan meskipun tentu terbuka ruang untuk sesiapa mengulas dan menilai aspek pelaksanaannya yang mungkin sebahagiannya tersasar atau menyimpang daripada semangat sebenar Perlembagaan Persekutuan.
Sehubungan dengan itu, larangan menyinggung perkara 3R hendaklah ditakrifkan dan ditafsirkan dengan betul. Larangan hendaklah berkaitan dengan pernyataan atau tindakan yang bercanggah dengan peruntukan perihal 3R dalam Perlembagaan Persekutuan seperti penghinaan kepada peruntukan tentang kedudukan raja, agama Islam sebagai agama persekutuan dan kedudukan keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera serta hak sah kaum-kaum lain.
Adapun orang yang memperkatakan tiga hal itu dalam bentuk mendukung dan memperteguhnya, tidak sewajarnya disamakan dengan orang yang bertindak sebaliknya.
Saya menyokong penjelasan Yang Berhormat Menteri Dalam Negeri tentang maksud larangan memperkatakan 3R secara yang salah.
Berkaitan dengan Perkara 153 dalam Perlembagaan Persekutuan yang sering menjadi isu, saya juga faham bahawa yang dinyatakan bukan semata-mata kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera bahkan juga “hak sah kaum-kaum lain”. Orang Melayu dan Bumiputera perlu memahami peruntukan itu supaya tidak timbul anggapan salah seolah-olah rakan-rakan kita yang lain daripada Melayu dan Bumiputera tidak ada hak di negara ini atau perlu menerima hak yang kurang daripada mereka.
Demikian pula sebaliknya orang bukan Melayu dan Bumiputera perlu mempelajari sejarah dan kedudukan sosioekonomi Melayu dan Bumiputera di negara ini yang mengabsahkan mengapa wujud pernyataan kedudukan istimewa yang- pada kenyataannya kini banyak yang tinggal menjadi ungkapan tersurat sahaja, oleh sebab telah banyak tongkat yang tidak diberikan kepada orang Melayu dan Bumiputera apabila kerajaan tertentu pada satu masa dahulu merobah pelaksanaan Perkara 153 itu.
Dalam konteks ini, tiada bersalahan pada hemat saya perjuangan mana-mana bangsa menuntut hak masing-masing menurut kadar yang tepat. Kupasan ahli fikir terkenal abad ke-14, Ibnu Khaldun yang diiktiraf oleh sejumlah sarjana besar dunia, termasuk oleh Arnold Toynbee perlu dihayati.
Menurut Ibnu Khaldun dalam adikaryanya atau maqnum opus-nya, Muqaddimah, menjadi satu yang fitrah dan tabii setiap bangsa menjaga hak dan kepentingannya dengan syarat tidak menafikan atau menceroboh hak bangsa lain. Sementelahan manusia dijadikan Allah berbangsa-bangsa dan berpuak-puak seperti dalam surah Al-Hujarat ayat 13 dengan tujuan agar saling berkenalan, lita'arafu dengan maksud saling memahami, saling menghormati, saling bekerjasama dan saling berbahagi bukan untuk bersengketa dan menzalimi kaum yang lain. Hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah.
Pemimpin yang adil yang kita harapkan berlaku dalam pimpinan sekarang perlu memastikan hal itu tidak terjadi dan ada hikmah dalam membentuk warganegara yang tahu akan letak dan kedudukan diri masing-masing menurut keadaan lingkungan yang terhasil daripada sejarah dan realiti semasa.
Saya sendiri dalam sekian banyak wacana lisan dan tulisan di dalam dan luar negara sering menggunakan istilah “bangsa Malaysia” untuk merujuk kepada warganegara bagi negara yang bernama Malaysia namun tidak melihat ada masalah bagi setiap warganegara dikenal pasti keturunannya, asal sahaja kesemuanya saling menghormati, saling memahami, saling membantu bak aur dengan tebing dan bak isi dengan kuku.
Demikiannya sunnatullah atau peraturan Tuhan. Di Melaka pada abad ke-15 dan abad ke-16 menurut suratan sejarah, terdapat sekitar 80 suku bangsa dan etnik, baik daripada dunia Arab, Parsi, India, China bahkan Barat selain etnik-etnik di alam Melayu yang masing-masing terkenal nama keturunannya tetapi mereka saling memahami, saling menghormati dan hidup dalam keadaan yang harmonis. Mengapakah kita yang hidup dalam zaman yang dikatakan moden ini tidak dapat bersikap dan bertindak moden sehingga kelihatan jauh lebih mundur daripada masyarakat beberapa abad yang silam?
Maka itu menjadi taklif kerajaan dan penjawat awam merancang dan melaksanakan program pembangunan negara yang dapat merealisasikan cita-cita mencapai keadilan sosial.
Semangat Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang bermatlamat serampang dua- mata perlu diteruskan meskipun cara gaya atau kaedah yang mungkin berbeza-beza, selaras dengan keperluan zaman. Matlamat pertama, membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum jelas menepati roh dan falsafah pembangunan negara yang adil dan ini tidak harus dilupakan.
Datuk Seri Prof. Emeritus Dr. Awang bin Sariyan
Dengan pengertian dan matlamat yang kedua, menyusun semula masyarakat dalam hal yang melibatkan kawasan atau wilayah, kaum dan strata sosial, jelas masih dan tetap relevan untuk dijadikan kerangka falsafah pembangunan negara pada masa ini. Di Dewan yang mulia ini, dalam ucapan sulung saya pada 22 Mac 2023, ada saya ungkapkan bahawa kemiskinan bukan milik mana-mana kaum. Maka itu, Melayu, Cina, India, KadazanDusun, Iban, Orang Asli, Kenyah, Orang Sungai dan puak etnik lain yang dalam kategori miskin perlu dibantu tanpa diskriminasi dalam program pembangunan ekonomi secara adil.
Berkaitan dengan itu Dato’ Yang di-Pertua, program pembangunan negara yang diterjemahkan dalam Belanjawan 2024 perlu dipastikan memenuhi kesinambungan falsafah dan roh pembangunan negara yang telah diasaskan sejak berdekad-dekad yang lalu, khasnya di bawah kepemimpinan Almarhum Tun Abdul Razak bin Hussein. Dasar-dasar affirmative masih relevan dengan syarat pelaksanaannya dipastikan bersulam integriti, amanah, adil dan saksama kepada semua warganegara. Tindakan tegas perlu dikenakan kepada pelaksana di peringkat mana pun yang khianat pada dasar dan program pembangunan negara seperti rasuah, salah guna kuasa, nepotisme, kronisme, kleptokrasi dan perbuatan-perbuatan jelik yang seumpamanya.
Dalam hal ini, nama baik dan mulia bangsa Melayu tidak patut dicemarkan angkara adanya sejumlah pemimpin dan pelaksana di peringkat negara, negeri dan institusi yang tidak menyempurnakan amanah dan tanggungjawab dengan betul sehingga terjadi ‘kerana nila setitik, rosak susu sebelanga’. Dan ‘seekor kerbau’, sekarang kiranya lebih daripada seekor kerbau, ‘membawa lumpur, semuanya terpalit’. Kerbau-kerbau yang menjelma dalam bentuk perasuah, menyalahgunakan, pendiskriminasi dan lain-lain itu perlu dikenakan tindakan tegas oleh kerajaan.
Dalam pada itu, sifat jelik seperti itu pun bukan milik mutlak suatu- bangsa atau kaum.
Ada sejumlah yang melibatkan orang Melayu yang terjebak dalam perbuatan jelik itu, sebagaimana ada juga orang daripada keturunan lain yang berperangai buruk seperti itu.
Masih banyak orang Melayu yang baik, yang menurut ajaran agama yang suci sebagaimana tetap masih banyak orang bukan Melayu yang baik seperti dalam Dewan yang mulia ini, semuanya orang baik-baik belaka.
Kerajaan perlu dengan lebih agresif membasmi rasuah dan ekonomi hitam yang menimbulkan kerugian kepada negara sehingga mencecah trilion Ringgit, baik di pihak penerima mahupun pihak pemberinya. Sehubungan dengan itu, kita wajar memberikan sokongan padu kepada kerajaan dalam mengutamakan aspek tatakelola terbaik dan ketangkasan perkhidmatan dalam Belanjawan 2024. Tentulah mekanisme untuk memenuhi usaha itu memerlukan Islah ataupun transformasi, termasuk kuasa badan-badan penyiasat dan penguat kuasa daripada pihak Eksekutif. Ini tuntutan yang saya kira masih bergema di Dewan Rakyat dan juga Dewan Negara, juga dalam media.
Dato’ Yang di-Pertua, yang seterusnya saya pergi ke bahagian tiga perbahasan saya berkaitan dengan cadangan-cadangan khusus. Untuk bahagian ini, saya secara umum mohon kerajaan memberikan perhatian khas bagi melakukan penambahbaikan dalam bidang-bidang utama pembangunan negara. Yang pertama dalam bidang pendidikan, kita masih bergelut dengan isu-isu berterusan seperti:
(i) keutamaan pendidikan sekolah rendah sama ada patut lebih berpusat kepada kemahiran 3M – membaca, menulis dan mengira atau mendedahkan aspek akademik dengan cepat ataupun dengan agak meluas. Imbangan terhadap 3M dengan akademik itu perlu diberi perhatian;
(ii) masalah nisbah pelajar STEM yang juga telah disentuh beberapa
kali oleh Yang Berhormat di Dewan yang mulia ini. Nisbah 60
40 ternyata jauh meleset daripada apa yang diharapkan di peringkat sekolah menengah;
(iii) soal kebajikan guru yang sebahagiannya terheret dengan soal prasarana. Dalam media sosial baru-baru ini, diceritakan bagaimana ada guru yang terpaksa berebut kerusi, bukan kerusi yang mahal, kerusi plastik kerana ada sekolah yang tidak cukup kerusi. Apatah lagi kalau dua sesi, guru sesi pagi belum pulang, sesi petang sudah sampai, maka masing-masing berebut kerusi, cop-cop kerusi. Ini bagi saya keadaan yang sangat mengaibkan dalam negara yang dikatakan sudah sampai ke tahap yang hebat;
(iv) seterusnya isu sekolah daif pun saya kira sudah banyak dibentangkan oleh rakan-rakan Yang Berhormat; dan
(v) soal latihan dan perkhidmatan yang lebih berkesan dan relevan dengan keperluan semasa. Ini saya kira soal yang penting. Kursus perguruan praperguruan itu penting, tetapi kursus dalam perkhidmatan- in-service training itu juga jangan dikurangkan perhatian dan peruntukannya.
Dalam hal kurikulum, tampak nyata keperluan untuk menyemak semula sukatan mata pelajaran. Sejarah yang diandaikan menyebabkan kurangnya penghayatan generasi muda tentang sejarah negara yang tepat sebagai contoh.
Dalam isu Bahasa Melayu, di Dewan ini juga saya pernah menimbulkan keperluan KPM memikirkan langkah untuk mengarusperdanakan sekolah rendah jenis kebangsaan dengan salah satu langkahnya menjadikan bahasa kebangsaan sebagai bahasa penghantar bagi sejumlah mata pelajaran, kalau tidak semua. Langkah itu dilaksanakan pun secara beransur-ansur, bukan secara mendadak selaras dengan keperluan kohort tertentu yang kira- kira mengambil tempoh lebih kurang enam tahun untuk menyelesaikan satu-satu kohort.
Setakat ini Bahasa Melayu hanya menjadi mata pelajaran di SRJK dan itu tidak memenuhi bahkan tidak membantu gagasan Bahasa Melayu Merentas Kurikulum yang menjadi salah satu inti pati Falsafah Pendidikan Kebangsaan untuk menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Dalam hal Bahasa Melayu sebagai mata pelajaran, pun berlaku kesenjangan yang tidak sewajarnya, iaitu dua jenis buku teks yang berbeza-beza bagi sekolah kebangsaan dan sekolah jenis kebangsaan. Mengapakan diizinkan keadaan atap genting atap rumbia dan dua darjat berlaku dalam pada kita bercita-cita membentuk perpaduan dan penguasaan bahasa negara yang setara bagi semua warganegara?
Saya ada pengalaman sedikit dalam mengendalikan peranan sebagai bapa angkat ratusan pelajar lepasan SPM yang dihantar oleh KPM ke Beijing untuk mengikuti Program Pengajian Mandarin selama lima tahun. Semua dilayan sama dengan pelajar Bahasa Mandarin dalam hal tahap dan kualiti bahasa dan tiada sukatan kursus dan instrumen penaksiran yang berbeza-beza antara pelajar Malaysia dan pelajar negara lain dengan pelajar Republik Rakyat China.
Demikian juga di peringkat pengajian tinggi. Kian kabur pelaksanaan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu sebagaimana yang dihasratkan oleh Perdana Menteri sejak beberapa dekad lalu beliau berada dalam kepemimpinan negara.
Ketetapan kerajaan bahawa tahun 1983 dijadikan tahun sasaran bermulanya Bahasa Melayu, sebagai bahasa utama di IPT ternyata kian melemah dengan peminggiran Bahasa Melayu, khasnya dalam bidang yang disebut bidang kritikal, iaitu perubatan, undang-undang, kejuruteraan, sains dan teknologi.
Pelan Pemartabatan Bahasa Melayu di IPT yang dimulakan pada tahun 2011 jelas menemui kegagalan apabila Laporan Audit Bahasa di IPT yang dilakukan oleh DBP menunjukkan peratusan yang sangat rendah bagi sesetengah IPT tentang penggunaan Bahasa Melayu di kebanyakan IPT. Bahkan ada IPT yang menyatakan oleh sebab kami ini universiti teknikal, kami tidak tertakluk kepada Dasar Penggunaan Bahasa Kebangsaan. Bagi saya, ini satu pengkhianatan besar.
Taklif mengimarahkan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu tinggi seolah-olah terbeban hanya pada universiti tertentu seperti Universiti Kebangsaan Malaysia kerana namanya universiti kebangsaan sebagai universiti watan. Sementara IPT lain seakan-akan mempunyai autonomi untuk tidak melaksanakan Dasar Bahasa Kebangsaan yang jelas tersasar dari dasar kerajaan sendiri, tahun 1983 seperti saya sebut tadi.
Kini Kementerian Pendidikan Tinggi mula menggerakkan Pelan Pemartabatan Bahasa Melayu di IPT bagi tempoh 2023 hingga 2030. Kerajaan perlu memastikan pelan itu tidak tinggal menjadi tindakan yang berlangsung pelan-pelan dan tidak menimbulkan kesan positif.
Yang kedua Dato’ Yang di-Pertua, dalam pembangunan kebanyakan negara di dunia, Dasar Bahasa Kebangsaan atau, dengan izin, National Language Policy menjadi salah satu- tonggak perancangan bahasa atau language planning, dengan izin menjadi antara agenda utama negara sedunia untuk membangun dan maju dalam acuan sendiri. Pengalaman saya dua kali bertugas di Republik Rakyat China sebagai penyandang Kerusi Pengajian Melayu Kerajaan Malaysia di sana dan di Jerman sebagai Profesor Tamu menunjukkan bahawa faktor ketegasan pelaksanaan Dasar Bahasa Kebangsaan menjadi salah satu faktor kejayaan kedua-dua buah negara itu.
Salah satu asas kejayaan RRC atau Republik Rakyat China dalam pelaksanaan inisiatif jalur dan laluan atau Belt and Road Initiative ialah kekuatan bahasa Mandarin sehingga kewujudan Institut Confucius di seluruh dunia telah mengatasi jumlah British Council dan MACEE. Bagi Jerman, pelajaran dapat kita timba daripada peranan pemikir ulungnya, Wilhelm Leibniz yang teori dan pelan cadangannya menjadikan bahasa Jerman sebagai bahasa utama pembangunan telah membangkitkan negara itu daripada negara yang ketinggalan di Eropah pada abad-17, muncul menjadi negara maju hingga kini dalam bidang teknologi tinggi, perubatan dan sebagainya.
kali oleh Yang Berhormat di Dewan yang mulia ini. Nisbah 60
Pengalaman sedikit saya di Korea Selatan, Jepun, Belanda dan Perancis juga menunjukkan pola yang sama, bahkan negara tetangga kita, Thailand dan Indonesia mengamalkan dasar yang sama. Indonesia diramalkan akan menjadi kuasa ekonomi kelima.
Itu menurut rakaman dalam perbincangan dengan pihak EPU dan satu- organisasi kerajaan tidak lama dahulu. Tentulah dengan tidak menafikan peranan bahasa asing.
Kita tidak fanatik kerana bahasa asing juga dapat menjadi nilai tambah dalam pengeluaran negara. Peri pentingnya Bahasa Kebangsaan dalam proses pembinaan negara- nation buildings, satu agenda bagi negara yang lepas pada belenggu penjajahan, tergambar dalam penyataan Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Perdana Menteri pertama negara kita, iaitu kata beliau, “Negara tanpa Bahasa Kebangsaan, ibarat jasad tanpa roh.” Saya mohon kerajaan lebih tegas dan berencana dalam pelaksanaan Dasar Bahasa Kebangsaan.
Langkah Perdana Menteri mengarahkan agar surat rasmi tidak menggunakan Bahasa Kebangsaan tidak dilayan, memang patut dipuji. Namun, barah penggunaan Bahasa Kebangsaan lebih parah daripada sekadar isu bahasa dalam surat. Sikap dan tindakan yang meremehkan ketetapan Perkara 152(6) dalam Perlembagaan Persekutuan masih leluasa.
Perkara 152(6) dengan jelas menetapkan penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi bagi urusan Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan pihak berkuasa awam. Apabila banyak mesyuarat sebagai contoh, yang masih dikendalikan dalam bahasa asing atau bahasa yang dikatakan oleh mantan Tuan Yang di-Pertua Dewan Negara, bahasa ini “sekadar ular, sekadar belut.” Hal itu menjadi bukti jelas tentang perlecehan dan peremehan taraf Bahasa Melayu sebagai bahasa negara dalam kalangan pentadbiran, terutama penjawat awam dan juga sejumlah pemimpin.
Demikian juga penggunaan bahasa di tempat awam, baik iklan, nama kawasan, nama bangunan atau kompleks dan lain-lain, masih sangat pekat kecenderungan penggunaan bahasa asing. Belum lagi kita nilai aspek mutu bahasanya. Masalahnya ialah ketidakpekaan sejumlah pihak kerajaan tempatan (PBT) dalam penguat kuasa undang- undang kecil pengiklanan yang menetapkan keutamaan penggunaan bahasa kebangsaan, tidak ada larangan bahasa asing, tetapi keutamaan Bahasa Kebangsaan, ada ciri-ciri yang ditetapkan dalam undang-undang itu.
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan mendakwa tidak mempunyai kuasa mengarahkan atau memantau PBT kerana PBT terletak dalam bidang kuasa kerajaan negeri. Sejumlah atau kebanyakan kerajaan negeri pula tidak peka dalam penguatkuasaan penggunaan bahasa kebangsaan sehingga akhirnya berlaku dendangan lagu ‘oh bangau, oh bangau mengapa engkau kurus’. Tidak tahu siapa akhirnya bersalah.
Dalam hal ini, saya mohon kerajaan menyegerakan penggubalan Akta DBP yang baharu, Akta Dewan Bahasa dan Pustaka yang baharu dengan salah satu perkara penting ialah kuasa penguatkuasaan penggunaan bahasa kebangsaan dalam pelbagai sektor utama di negara ini. Akta DBP 1959 sekadar memberikan kuasa pembakuan bahasa dan ejaan, sebutan, istilah, kosa kata dan tatabahasa serta kuasa menegur, menasihati dan membimbing yang ternyata menyebabkan DBP sering dianggap sebagai harimau kertas, bukan kerana DBP tidak bekerja keras tetapi kerana tidak diberi ruang atau tidak memiliki kuasa penguatkuasaan.
Barangkali kita boleh belajar daripada pengalaman di Perancis yang dapat kita timba apabila kerajaan memberikan wewenang kepada badan perancang bahasa negara itu dalam aspek penguatkuasaan, sehingga pernah dilaporkan bahawa sebuah syarikat yang tidak mengutamakan bahasa Perancis dalam laman sesawangnya, didenda sekian ribu Euro.
Denda atau hukuman memang bukan matlamat kita, tetapi bersama-sama dengan peruntukan lain akta baharu itu dapat menjadi satu mekanisme yang berkesan, insya-Allah. Penegasan kepada bahasa kebangsaan tidak bererti kita perlu menutup mata kepada keperluan mempelajari dan menguasai bahasa asing yang dapat menjadi nilai tambah kepada pembangunan negara dan saya menyokong penuh penyataan secara tekal oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri tentang keperluan untuk warga negara Malaysia menguasai pertamanya bahasa negaranya, yang kedua-dua bahasa asing, bermula dengan bahasa Inggeris dan beberapa bahasa asing yang lain yang sudah diperkenalkan di peringkat sekolah, khususnya sekolah berasrama penuh- bahasa Perancis, Jerman, Arab, Mandarin dan sebagainya.
Tohmahan bahawa para pejuang bahasa itu dogmatik, fanatik, ekstrem dan lain-lain hanya fitnah belaka kerana semua pejuang bahasa kebangsaan turut menguasai bahasa asing. Kalau saya berada di luar negara yang tidak faham Bahasa Melayu, tidak mungkin saya bercakap Bahasa Melayu ataupun bahasa Jawa. Saya harus bercakap dalam bahasa asing. Bagi orang Islam, Al-Quran dalam surah Al-Rum, ayat 22 dengan jelas menyatakan hakikat bahawa Allah menjadikan bahasa bagi setiap bangsa dan oleh itu tiada sebab untuk kita memusuhi bahasa yang mana pun.
Yang menjadi perancangan kita iaitu mengutamakan bahasa negara selaras dengan fitrah penyampaian ilmu, maklumat dan komunikasi yang jauh lebih berkesan dalam bahasa sendiri sebagaimana disyaratkan dalam Surah Ibrahim, Ayat 4 tentang ketetapan Allah bahawa para rasul Allah itu menyampaikan ajaran agama dalam bahasa yang difahami oleh kaumnya.
Tuan Yang di-Pertua, di peringkat antarabangsa pula, negara kita tidak cukup tangkas dalam mengangkat bahasa negara. Negara tetangga, iaitu Indonesia selama puluhan tahun bekerja keras dan UNESCO baru-baru ini mengisytiharkan bahasa Indonesia sebagai satu daripada 10 bahasa rasmi di badan dunia itu. Salah satu kaedah yang digunakan oleh Indonesia iaitu gerak kerja Atase Pendidikan dan Kebudayaan kedutaan negara itu di negara-negara utama di dunia dengan program promosi dan publisiti yang berkesan.
Saya mohon kerajaan menggerakkan Kementerian Luar agar mewujudkan jawatan Atase Pendidikan dan Kebudayaan, insya-Allah dapat mengangkat bahasa, kebudayaan, kesusasteraan dan aspek lain tamadun negara kita di peringkat antarabangsa. Saya ingin mengetahui dan mohon Menteri Luar menjawab pertanyaan- apakah langkah susulan Kementerian Luar dalam pelaksanaan Dasar Diplomasi Budaya- Cultural Diplomacy Policy yang diisytiharkan pada hujung tahun 2021?
Sementelahan pula Jemaah Menteri telah meluluskan penubuhan Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu (MABM) yang diurusetiakan oleh DBP dan dalam kesederhanaan dana RM300,000 setahun, DBP telah menunjukkan keberhasilan di peringkat antarabangsa. Komitmen kerajaan yang lebih rinci diperlukan dalam upaya mengangkat bahasa, sastera dan budaya serta ilmuan negara kita di peringkat antarabangsa.
Sedikit maklumat yang perlu saya kongsi, hasil penglibatan saya sebagai duta kecil dalam bidang ilmu dan pendidikan di Republik Rakyat China, kini telah ada 16 buah IPT di negara itu di pelbagai kota utama yang menawarkan program ijazah Bahasa Melayu selama empat tahun, hasil daripada promosi dan gerak kerja Kementerian Pendidikan Tinggi, Kedutaan Besar Malaysia dan Pejabat Konsul Jeneral serta sedikit sebanyak oleh Penyandang Kerusi yang dilantik oleh kerajaan. Jadi, peluang untuk Bahasa Melayu, sastera Melayu, budaya Melayu dan tamadun negara kita di negara luar terbuka luas, tetapi memerlukan komitmen yang lebih jelas kepada kerajaan.
Dari tahun 1993 pula, kerajaan melalui Kementerian Pendidikan Tinggi pada waktu itu bergabung dengan Kementerian Pendidikan telah menubuhkan beberapa Kursi Pengajian Melayu, Malays Studies Chair seperti di Leiden, di Wellington, di Beijing dan di Seoul, kini semuanya telah sunyi sepi kerana penangguhan program itu. Sewajarnya kerusi yang sedia ada itu dihidupkan semula dan malahan ditambah di beberapa buah wilayah sedunia yang berpotensi. Saya mohon Menteri Pendidikan Tinggi menjawab pertanyaan saya ini.
Isu lain yang pada hemat saya penting diberi perhatian ialah upaya analisis dan penerbitan karya-karya berdasarkan wujudnya sekitar 40,000 Manuskrip Melayu Lama yang bertebaran di seluruh dunia, selain di negara kita sendiri. Kebanggaan akan wujudnya puluhan ribu Manuskrip Melayu lama tidak ada erti apa-apa apabila ilmu dan kandungan manuskrip itu tidak dikaji dan tidak diterbitkan untuk manfaat masyarakat setempat dan masyarakat peringkat antarabangsa.
Saya menyarankan dibentuk sebuah Majlis Penyelaras Manuskrip Melayu Lama yang melibatkan semua institusi yang merupakan pemegang kepentingan- saya tidak panggil ‘pemegang taruh’, ‘taruh’ ini biasa perjudian. Pemegang Kepentingan Manuskrip Melayu Lama seperti Perpustakaan Negara Malaysia, Dewan Bahasa dan Pustaka, Yayasan Karyawan Malaysia, IPT dan badan-badan lain yang mempunyai pusat manuskrip.
Tujuannya supaya dapat dilaksanakan pakatan strategik dan perkongsian kepakaran serta dana dalam menggandakan usaha menganalisis manuskrip yang menggarap pelbagai bidang ketamadunan seperti agama, ketatanegaraan, undang-undang, perubatan, seni bina, teknologi, historiografi, prosa dan puisi agar dapat diketengahkan sebagai sebahagian warisan ilmu watan ke mata dunia.
Ini yang dilakukan oleh negara China, mengapakah perubatan tradisi Cina dapat diangkat ke peringkat dunia? Kerana mereka melakukan kajian dan mengangkat perubatan tradisi mereka.
Terkait dengan bidang itu dan saya menyarankan kerajaan juga memberikan peruntukan yang besar kepada usaha untuk melakukan kajian dan penerbitan karya agung dan Manuskrip Melayu Lama yang 40,000 lebih jumlahnya itu secara terancang, secara serius, dengan melantik ahli-ahli filologi, saintis dan sebagainya bagi mengerjakan Manuskrip Melayu Lama yang 40,000 jumlahnya. Dalam konteks penerbitan, perlu dilakukan transformasi, terutama keutamaan kepada penerbitan elektronik dan digital dalam bentuk yang terangkum dalam industri kreatif seperti multi media, animasi, adaptasi dan lain-lain yang mesra masyarakat, berbanding hanya terbitan bercetak dan teks asal yang hanya menarik minat sejumlah sarjana atau pelajar IPT.
Penghargaan tinggi kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri kerana pada tahun 2023 telah diperuntukkan RM22 juta untuk perkembangan ilmu karya agung dan karya sastera secara tersohor, tetapi persoalannya perlu dilaporkan oleh badan-badan yang diberi amanah itu. Apakah yang telah dilakukan terhadap RM20 juta yang diperuntukkan itu?
Pada tahun 2024, menurut pembentangan belanjawan, RM60 juta diluluskan, diperuntukkan termasuk untuk industri kreatif, juga soal penerbitan dan mengangkat soal ilmu, bahasa, sastera dan budaya.
Tuan Yang di-Pertua, saya mohon dalam satu minit lagi. Saya menggunakan...
Timbalan Yang di-Pertua
Dah bagi 30 pun YB, minta seminit lagi. Baik YB.
Datuk Seri Prof. Emeritus Dr. Awang bin Sariyan
Saya gunakan gear automatik yang laju ini. Satu hal lain lagi yang mungkin dilupakan orang, UNESCO menetapkan untuk mencapai taraf negara maju, perlu ada 0.01 peratus judul setiap tahun per nisbahkan jumlah penduduk negara, dengan andaian penduduk negara kita 30 juta orang, maka negara kita wajib menerbitkan atau mengeluarkan terbitan cetak dan digital berjumlah kira-kira 30,000 judul baharu setiap tahun, baru UNESCO akan meletakkan taraf negara kita sebagai negara maju dalam bidang pendidikan. Program pembentukan watak generasi muda sebagai bakal pemimpin dan penggerak pembangunan negara masa hadapan perlu diberi perhatian khas.
Pada 2003 diwujudkan Program PLKN, tetapi dihentikan pada tahun 2015. Disambung dengan PLKN 2.0 pada tahun 2016.
Pada tahun 2018, terus ditutup oleh kerajaan tanpa kita ketahui apa sebab musababnya. Pada 9 Oktober 2023, saya membaca pernyataan Menteri Pertahanan kini bahawa PLKN 3.0 akan dilaksanakan pada tahun 2024. Saya mencadangkan dengan tegas agar dihalusi perancangan pelaksanaannya dengan proses libat urus secara meluas dengan semua pihak yang berkepentingan agar PLKN 3.0 benar-benar berkesan dan tidak mengulang kelemahan PLKN 1.0 dan 2.0. Kelemahan di negara kita saya perhatikan selalu masalah untuk mempertahankan dan mengekalkan mutu program yang dirancang. Bagi memastikan keterjaminan makanan, saya tidak mahu bercakap panjang...
Timbalan Yang di-Pertua
YB sudah seminit.
Datuk Seri Prof. Emeritus Dr. Awang bin Sariyan
Saya hanya..
Timbalan Yang di-Pertua
Saya dah tidak boleh bagi masa tambahan sebab sudah lepas pukul 1.
Datuk Seri Prof. Emeritus Dr. Awang bin Sariyan
Saya akhiri dengan satu cadangan akhir iaitu mengulang cadangan saya di Dewan yang mulia ini agar kebudayaan diberi martabat dan hak dan bukan dipayungi oleh sektor pelancongan. Pelancongan sesuai dipadukan dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri atau Kementerian Perdagangan Antarabangsa. Kebudayaan dan Warisan perlu mandiri di bawah sebuah kementerian yang tersendiri.
Demikianlah Datuk Tuan Yang di-Pertua, dengan ini saya mohon menyokong RUU Perbekalan 2024. Terima kasih, Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Timbalan Yang di-Pertua
Terima kasih YB. Ahli-ahli Yang Berhormat, Dewan ini ditangguhkan dan akan bersidang semula jam 2.30 petang.
[Mesyuarat ditempohkan pada pukul 1.03 tengah hari]
[Mesyuarat disambung semula pada pukul 2.30 petang]
Timbalan Yang di-Pertua
[Datuk Paul Igai mempengerusikan Mesyuarat]
Datuk Paul Igai
Ahli-ahli Yang Berhormat, Dewan bersidang semula.
Saya hendak meneruskan sesi perbahasan. Dengan itu, saya jemput Yang Berhormat Senator Tan Sri Haji Mohamad Fatmi bin Haji Che Salleh, dipersilakan.
Tan Sri Haji Mohamad Fatmi bin Haji Che Salleh
*Bismillahi Rahmani Rahim.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh*, salam sejahtera. Dato’ Yang di-Pertua, memacu model ekonomi Malaysia.
Dengan izin, winner never quit; quitter never win. Inilah falsafah Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim sehingga menjadi Perdana Menteri. Long overdue and he deserved it, dengan izin.
Hari ini saya bertuah kerana diberi peluang membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan yang telah dibentangkan dan dicadangkan sendiri oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri. Bajet kali ini berjumlah melebihi RM390 bilion yang merangkumi RM303.8 bilion perbelanjaan mengurus, RM90 bilion peruntukan pembangunan dan RM2 bilion simpanan luar jangka. Bajet ini merupakan bajet yang paling besar dalam sejarah pembangunan Malaysia dan ia bertujuan untuk mencapai sasaran melonjak ekonomi negara ke tangga 30 teratas ekonomi dunia.
Perdana Menteri pada Julai 2023 yang lalu, telah mengumumkan Ekonomi Madani sebagai sebuah wadah baharu agar Malaysia terus berperanan menjadi peneraju ekonomi utama di rantau Asia Tenggara dengan matlamat muncul sebagai 30 ekonomi terbesar dunia.
Hari ini Malaysia berada di kedudukan 37 ekonomi dunia dengan KDNK sebanyak USD406.3 bilion bagi tahun 2022. Sasaran yang sebenarnya berasas dan tidak mustahil ini untuk direalisasikan namun ia juga perlu diterjemahkan dalam tindakan bersepadu setiap daripada kita, sama ada daripada pihak kerajaan, pihak swasta dan setiap individu rakyat.
Dasar Ekonomi Baharu yang diperkenalkan pada tahun 1970 telah berakhir tahun 1990. Semenjak itu sektor pertanian dan pembuatan menjadi enjin utama ekonomi yang merancakkan sendi perekonomian negara. Dasar Kesaksamaan yang diperkenalkan telah menarik minat penyertaan bumiputera di dalam bidang perniagaan. Dasar serta galakan yang diberikan oleh pihak kerajaan telah melonjak KDNK tidak kurang dari lapan peratus saban tahun. Dasar Pembangunan Nasional (DPN) telah diperkenalkan pada tahun 1991 sebagai menyambung dasar baharu ekonomi negara dengan Wawasan 2020 merupakan kemuncak pada Malaysia sebagai sebuah negara maju.
Penglibatan luas pihak swasta dengan penekanan kepada ekonomi berasaskan perindustrian telah menjadi kunci utama yang merancakkan ekonomi negara. Peluang pekerjaan kepada setiap warga dengan pendapatan yang lebih baik juga membentuk iklim ekonomi yang stabil kepada rakyat. Dasar pentadbiran kerajaan yang berkesan telah berjaya mengurangkan kadar kemiskinan. Kadar buta huruf dapat diatasi apabila peluang belajar yang menyeluruh sehingga ke peringkat yang tertinggi, di samping infrastruktur negara yang lengkap telah menyebabkan limpahan kek ekonomi dapat dirasai oleh rakyat hingga ke ceruk kampung dan desa.
Negara terus mencari dan membentuk dasar yang baik bagi kepentingan rakyat dan negara. Oleh yang demikian, bekas Perdana Menteri Malaysia keenam, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak telah mengambil tanggungjawab untuk memastikan rakyat dan negara terus berupaya hidup dengan lestari, maju dan berjaya apabila menggariskan TN50 dengan berpaksikan Malaysia sebagai sebuah negara yang berwibawa dalam ekonomi sosial dan minda menjadikan Malaysia sebagai satu dari 20 buah negara teratas dan termaju dunia.
Satu transformasi negara yang berteraskan usaha sama antara kerajaan dan rakyat.
Dengan tersedia sumber tenaga manusia yang berilmu dan berpakaran, infrastruktur yang lengkap dengan wujudnya kawasan dan zon perindustrian di setiap koridor, setiap negeri hinggalah ke setiap daerah, telah menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang amat kondusif bagi pelabur dari dalam dan luar negara untuk melabur dan mengembangkan perniagaan. Soal jaminan keselamatan dan insentif yang diberikan oleh kerajaan begitu menyumbang kepada terhasilnya sebuah ekosistem perniagaan yang kukuh, berdaya tahan dan berdaya saing.
Dato’ Yang di-Pertua, bagi menjamin Malaysia terus kekal maju dan berdaya saing dalam memastikan negara mencapai hasrat Ekonomi Madani, sebagai sebuah negara yang bakal menjadi salah sebuah dari 30 buah negara terbesar ekonomi dunia, ia bukanlah sesuatu, yang bulat datang bergolek, yang pipih datang melayang. Ia tidak akan terjadi hanya dengan angan-angan yang hanya ada di atas sekeping kertas. Setiap cadangan dan rancangan ini yang disusun perlulah disertakan dengan tindakan yang bersepadu, teliti, cermat juga berani.
Pihak kerajaan perlu mendefinisikan dengan lebih jelas tindakan yang telah dan akan dibuat dalam menyampaikan hasrat dan maksud Ekonomi Madani.
Kefahaman menyeluruh penting dalam memastikan semua pihak sama ada pemain industri, pihak pengurus kewangan, setiap agensi kerajaan, mahasiswa yang bakal memasuki pasaran pekerjaan serta rakyat secara keseluruhannya perlu didedahkan serta dimanfaatkan akan keperluan yang perlu bagi memenuhi hasrat murni tersebut.
Model ekonomi yang bagaimana yang mahu diperkenalkan oleh negara kepada para pelabur? Apakah insentifnya? Apakah sektor dan subsektor yang diberikan penekanan oleh pihak kerajaan dalam merancakkan lagi ekonomi? Sebagai contoh, adakah model ekonomi ini nanti akan turut sama memperkenalkan sistem cukai kerajaan yang terbaik iaitu GST yang pernah diperkenalkan sebelum ini. Kalau benar GST akan diperkenalkan semula, adakah ia sama atau ada kelainan. Jika ia mahu dilaksanakan, maka soalannya bila?
Tan Sri Haji Mohamad Fatmi bin Haji Che Salleh
Dunia pasca COVID-19 dan pasca perang Rusia dan Ukraine menyebabkan keadaan ekonomi dunia lemah dan tidak stabil. Hari ini dengan peperangan yang sedang berlaku antara Palestin dan Israel yang dilihat tidak berpenghujung menyebabkan ekonomi dunia yang menunjukkan tanda mula pulih. Namun, ia masih lagi fragile dan perlu dipergiat agar aktiviti ekonomi dunia benar-benar kembali sihat dan selamat.
Keadaan ini tentunya memaksa negara meneroka usaha sama ekonomi yang lebih strategik. Menawarkan kerjasama G2G yang berkesan mahupun kerjasama awam dan swasta pasti memerlukan kerajaan menyediakan satu master plan yang terancang dan attractive.
Apakah kerajaan akan menjalinkan kerjasama khusus dan lebih tersusun dengan negara-negara ekonomi terbesar dunia dalam menggerakkan kadar pelaburan asing yang agak perlahan masuk ke dalam negara sekarang ini? Sebagai contoh, apakah kerajaan bercadang untuk mewujudkan semula iklim pelaburan yang pernah Malaysia jalin bersama dengan negara China seperti sebelum ini?
Apakah pihak kerajaan akan terus memperkasa ekonomi koridor yang pernah pun dilaksanakan dan masih banyak yang tertangguh sebelum ini? Hubungan dagang antara dua buah negara ini pasti akan memanfaatkan Malaysia dengan menjadikan negara terbesar ekonomi dunia ini sebagai hab eksport barangan tempatan ke luar negara melalui negara berkenaan yang pastinya mempunyai jaringan perniagaan yang lebih luas dan cekap.
Dengan adanya kerjasama pembangunan antara dua buah negara maka tentunya FDI dari negara berkenaan akan lebih tersasar, berjadual dan berfokus serta dengan sendirinya ia merancakkan ekonomi, sesuai dengan hasrat dan cita-cita ekonomi Madani yang digagaskan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri.
Datuk Yang di-Pertua, high speed rail (HSR). Tahniah kepada pihak kerajaan yang dipimpin oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri yang berani untuk meneruskan semula Projek high speed rail (HSR) seperti mana yang diumumkan oleh pihak MyHSR Corporation Sdn. Bhd. pada Julai tahun ini.
Walaupun kali ini projek berkenaan dikatakan akan dibiayai oleh pihak swasta sepenuhnya. Namun, sebenarnya limpahan ekonomi di sebalik kejayaan projek HSR ini nanti tentu akan menguntungkan rakyat dan negara. Projek HSR ini mesti segera direalisasikan kerana semua negara maju seperti Perancis, Jerman dan Jepun mempunyai kereta api berkelajuan tinggi.
Antara kriteria negara maju ialah keupayaan menyediakan kemudahan pengangkutan awam dengan meningkatkan mobiliti rakyatnya dari satu buah negeri ke negeri yang lain. Peningkatan mobiliti sudah tentu meningkatkan aktiviti ekonomi. Dengan adanya HSR dari Kuala Lumpur ke Johor Bahru atau terus ke Singapura, sudah tentu ia menggalakkan rakyat terutamanya rakyat Singapura serta pelancong yang masuk melalui Singapura yang sememangnya mempunyai kuasa beli yang tinggi untuk berbelanja di negara kita ini.
Industri perhotelan kita juga akan mendapat...
Datuk Dr. Azhar bin Ahmad
Dato’ Yang di-Pertua...
Datuk Paul Igai
Boleh.
Datuk Dr. Azhar bin Ahmad
Saya hendak celah sedikit sahaja.
Datuk Paul Igai
YB, satu minit sahaja.
Tan Sri Haji Mohamad Fatmi bin Haji Che Salleh
Okey, silakan.
Seorang Ahli
Hei duduk sebelah pun hendak...
Datuk Dr. Haji Azhar bin Ahmad
High speed rail (HSR) yang dahulunya diideakan oleh PM kita, PM enam, tetapi selepas itu dibatalkan, selepas kalau tidak salah saya dalam 2018. HSR kita tahu seperti mana Dato’ Yang di-Pertua, baik untuk negara, baik untuk industri hiliran ataupun vibrant kepada ekonomi kita, tetapi malangnya dibatalkan.
Soalannya, apakah risiko yang diumumkan baharu ini boleh dibatalkan semula?
Terima kasih. Itu sahaja soalan saya.
Tan Sri Haji Mohamad Fatmi bin Haji Che Salleh
Dato’ Yang di-Pertua. Saya sebenarnya tidak tahu apa risiko. Tetapi mengenali Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim sebagai Perdana Menteri ini pandangan saya, bukan jawapan yang tepat ataupun salah, tidak.
Mengenali Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim sebagai Perdana Menteri, sebagai mana mukadimah saya kata tadi winner never quit, quitter never win. Maknanya, ini falsafah Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim. Jadi, bermakna kalau dia sudah bersetuju untuk meneruskan HSR ini, saya rasa waima apa sekali berlaku sekali pun ini mesti diteruskan kerana ia memberi kelebihan dan kebaikan untuk negara kita ini.
Industri perhotelan kita akan mendapat nafas baharu dengan peningkatan penggunaan bilik hasil keluar masuk rakyat terutamanya pelancong dari Singapura. Ini kerana apabila siapnya HSR, perjalanan dari Singapura atau Johor Bahru ke Kuala Lumpur akan hanya mengambil masa 90 minit. Jurang yang jauh dapat dicepatkan. Perjalanannya akan menyebabkan rakyat mempunyai pilihan untuk meneroka bidang pekerjaan dan berniaga dengan berulang alik antara Kuala Lumpur dengan Johor Bahru atau Singapura.
Bayangkan selepas ini, mungkin ada rakyat kita tinggal di Kuala Lumpur mula mengambil keputusan mencari peluang pekerjaan di Johor Bahru atau di kawasan transit HSR yang lain. Ini sedikit sebanyak akan mengurangkan tumpuan mencari pekerjaan yang hanya berpusat di Kuala Lumpur. Sekali gus membuka peluang lagi luas kepada anak muda mencari pekerjaan.
Setiap kawasan transit HSR ini juga akan membawa sama lonjakan pasaran hartanah serta lonjakan aktiviti ekonomi yang pesat di kawasan baharu. Peluang pekerjaan yang bertambah di samping memperluaskan zon perdagangan terutama di koridor selatan.
Dengan berfungsinya HSR kelak, akan menjadi pemangkin kejayaan koridor ekonomi yang dicita-citakan oleh kerajaan selama ini.
Semua ini akan membuka mata dunia pada Malaysia sebagai syurga perdagangan dan perniagaan yang lebih kondusif, terancang dan selamat. Ia nya juga merupakan satu alternatif baharu industri di Asia Tenggara. Pastinya usaha Yang Amat Berhormat Perdana Menteri untuk meletakkan Malaysia sebagai salah satu daripada 30 kuasa besar ekonomi dunia akan lebih mudah dan segera dicapai.
Persoalannya Dato’ Yang di-Pertua, sejauh mana pihak kerajaan boleh menentukan dengan pasti bahawa kawasan transit HSR yang melibatkan daerah tertentu di setiap hentian perjalanannya nanti benar-benar mengambil kira kepentingan ekonomi domestik serta mempunyai rantaian pengembangan ekonomi yang holistik?
Usaha terancang pihak kerajaan dalam menjana pendapatan negara dengan memastikan peluang pekerjaan kepada setiap warganegara serta membuka ruang niaga yang luas, seluas-luasnya dalam setiap sektor tentu akan mengangkat sama industri Perniagaan Kecil dan Sederhana (PKS).
Dato’ Yang di-Pertua, asas kepada kejayaan bajet yang dibentangkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Kewangan boleh disimpulkan kepada perlunya wujud sebuah pasukan yang baik dan berkesan. Pasukan yang bersilang gabung akan berkepakaran tenaga dan pengalaman dalam membentuk pasukan yang kompeten.
Latihan yang berterusan dengan garapan ilmu terkini, tentunya pasukan pengurusan yang kompeten pasti dapat menggerakkan roda ekonomi untuk terus berputar serta sampai ke destinasi yang dicita-citakan. Pasukan ini juga perlulah disertai sama oleh rakyat yang terdiri daripada pihak swasta, para usahawan juga golongan muda yang perlu menjadi tunjang kepada bergeraknya enjin ekonomi negara dengan berkesan.
Akhirnya, penguatkuasaan dan penyelenggaraan juga merupakan satu elemen penting dalam memastikan apa juga dasar dan rancangan yang dilaksanakan perlulah diikuti dengan tanggungjawab pemeliharaan yang adil dan efektif. Sebarang ketirisan yang merencatkan kemajuan pembangunan ekonomi negara merupakan satu pembaziran dan sebenarnya merupakan pengkhianatan kepada kemajuan negara serta rakyat Malaysia.
Marilah kita bergerak ke hadapan seperti:
*Serumpun bak serai, Sesusun bak sireh.
Sakit sama mengaduh, Luka sama menyiuh, Berat sama dipikul, Ringan sama dijinjing.* Akhirnya keutamaan rakyat dan negaralah yang menjadi keutamaan kita semua.
Memastikan rakyat terus hidup sejahtera di dalam sebuah negara Malaysia yang aman, makmur dan berjaya.
Masa ada 33 minit lebih, memang tidak cukup. Jadi saya terpaksa skip Dato’ Yang di-Pertua.
Datuk Paul Igai
Saya tidak bagi lebih masa ya.
Tan Sri Haji Mohamad Fatmi bin Haji Che Salleh
Ha?
Datuk Paul Igai
Terhad kepada 20 minit sahaja.
Tan Sri Haji Mohamad Fatmi bin Haji Che Salleh
Itulah, ini Tuan Yang di-Pertua ini strict sedikit. Saya terpaksa skip Tuan Yang di-Pertua. Saya akan skip ke- yang terakhir, baik.
Datuk Paul Igai
Thank you.
Tan Sri Haji Mohamad Fatmi bin Haji Che Salleh
Tan Sri Yang di-Pertua ataupun Dato’ Yang di-Pertua, Perbadanan Kemajuan Kelantan Utara, ataupun UTARA. Dalam memastikan pembangunan di setiap wilayah, negeri, daerah dan kampung seimbang, kerajaan telah menubuhkan sebagai agensi kerajaan bagi memastikan semua pihak dan setiap kawasan sama ada di bandar mahupun di desa berupaya dibangunkan.
Tan Sri Haji Mohamad Fatmi bin Haji Che Salleh
Kementerian Pembangunan Luar Bandar yang sekarang ini dikenali sebagai Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) telah berjaya menubuhkan agensi pelaksana di setiap wilayah dan negeri dengan usaha terancang dan mulia Allahyarham Tun Razak membuka FELDA.
Maka semenjak itu banyak lagi agensi kerajaan seperti RISDA, FELCRA telah ditubuhkan bagi membantu setiap lapisan rakyat terpelihara dan tidak tercicir dari arus pembangunan negara. Makanya banyak lembaga pembangunan tanah, wilayah dan negeri yang berjaya ditubuhkan selaras dengan pembangunan menyeluruh bagi seimbang yang mula diperkenalkan oleh kerajaan sejak Rancangan Malaysia Pertama tahun 1966 yang merangkumi perancangan pembangunan di Semenanjung termasuk Sabah dan Sarawak.
Lembaga Kemajuan Johor Tenggara atau KEJORA di Johor, DARA di Pahang, KETENGAH di Terengganu, KEDA di Kedah, PERDA di Pulau Pinang juga Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan atau KESEDAR di negeri Kelantan.
KESEDAR yang telah ditubuhkan pada 1 Mei 1978 telah berjaya mengimbangi komposisi penduduk di antara Kelantan Selatan dan Kelantan Utara, membasmi kemiskinan dengan menyusun semula masyarakat. Sejak itu peranannya untuk membangunkan rakyat dan kawasan yang terlibat tidak pernah terhenti dan sememangnya ia memerlukan lebih banyak lagi perhatian dan peruntukan dalam melestarikan kewujudan KESEDAR selama ini.
Namun begitu, kesejahteraan hidup rakyat dan pembangunan menyeluruh di negeri Kelantan akan memerlukan pembelaan kerajaan pusat, tidak hanya berada di selatan negeri Kelantan malah kawasan utara negeri Kelantan. Dengan kepadatan penduduk serta menjadi kawasan yang pesat membangun dengan rancaknya aktiviti ekonomi memerlukan perhatian yang sebenarnya lebih penting atau paling tidak sama pentingnya melibatkan kawasan selatan di bawah KESEDAR.
Oleh yang demikian, seharusnya Kerajaan Pusat melalui Kementerian Desa dan Wilayah meneliti, mengkaji seterusnya meluluskan pembentukan Perbadanan Kemajuan Kelantan Utara atau (UTARA) demi kesejahteraan hidup rakyat dan kemajuan berterusan di kawasan negeri Kelantan Utara. Perbadanan Kemajuan Kelantan Utara ini nanti bakal bertanggungjawab kepada kawasan yang bermula dari daerah jajahan Machang, Bachok, Pasir Puteh, Tanah Merah. Kubang Kerian, Kota Bharu, Pengkalan Chepa dan Tumpat.
Kawasan yang pesat dengan pelabur dengan taburan penduduk negeri Kelantan yang dianggarkan melebih 1.3 juta orang berbanding rakyat Kelantan secara keseluruhannya mencecah 1.9 juta orang.
Tentunya kewujudan UTARA ini, Datuk Yang di Pertua minta sedikit lagi nak habis sudah...
Datuk Paul Igai
Satu minit sahaja.
Tan Sri Haji Mohamad Fatmi bin Haji Che Salleh
Dua minitlah.
Datuk Paul Igai
Satu setengah.
Tan Sri Haji Mohamad Fatmi bin Haji Che Salleh
Tentunya kewujudan UTARA ini nanti akan memberikan manfaat besar kepada penduduk negeri Kelantan yang masih banyak memerlukan perhatian sokongan dan bantuan Kerajaan Persekutuan melalui agensi pusat.
Pastinya UTARA akan dapat memainkan peranan penting dalam membantu mempercepatkan pembangunan yang sememangnya banyak perlu diusahakan, diselaraskan dan dibangunkan bersama dengan Kerajaan Negeri Kelantan. Kewujudan UTARA akan menjadi pemudah cara bagi pihak Kerajaan Persekutuan untuk pembangunan di negeri Kelantan.
Jumlah kepadatan penduduk di kawasan UTARA ini amat mendesak untuk agensi ini menyusun keperluan rakyat setempat. UTARA bakal dapat menyelaras pembangunan terancang yang lebih strategik untuk kemudahan rakyat. Pembinaan rumah terutama PPR yang begitu mendesak di setiap bandar utama. Perancangan yang bersepadu akan dimainkan oleh UTARA dalam memastikan keperluan jalan penghubung di antara bandar, jalan pintas yang mampu mengurangkan kesesakan.
Keperluan pendidikan sama ada sekolah rendah dan menengah, klinik-klinik kesihatan juga zon perdagangan baru yang perlu dibuka bagi menampung kepesatan aktiviti ekonomi yang semakin berkembang di Kota Bharu dan kawasan sekitarnya. Adalah diharapkan pihak kerajaan di bawah pimpinan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Malaysia merestui cadangan ini untuk diangkat bagi menjayakan kewujudan Perbadanan Kemajuan Kelantan Utara atau UTARA.
Datuk Paul Igai
Yang Berhormat.
Tan Sri Haji Mohamad Fatmi bin Haji Che Salleh
Closing okey. Dato’ Yang di- Pertua yang budiman, natijahnya, asas perbahasan yang saya bawakan ini bermula dari contoh dan penceritaan hingga berupa cadangan dan persoalan yang dibangkitkan adalah semata-mata atas rasa kasih dan sayang saya kepada negara kita Malaysia yang kita semua cintai untuk membina sebuah negara bangsa yang cemerlang.
Menjadi tanggungjawab kita semua sebagai Ahli Dewan Negara untuk menyokong penuh belanjawan yang telah dibentangkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Kewangan merangkap Perdana Menteri agar ia dapat dilaksanakan bagi menjamin kehidupan rakyat yang lebih cemerlang pada tahun mendatang. Semoga usaha kita semua ini akan terus mendapat taufik dan hidayah Allah SWT dengan naungan hidup bernegara yang dicita- citakan.
Saya sedar dan kita- semua mengakui bahawa perjalanan membina negara bangsa ini masih panjang. Ia memerlukan langkah sederap setiap rakyat Malaysia bagi sama-sama kita melaluinya. Dengan izin, a journey of a thousand miles begin with the first step. Tuan Yang di Pertua, saya mohon menyokong. Terima kasih.
Datuk Paul Igai
Terima kasih Yang Berhormat Tan Sri. Saya akan memaklumkan kepada semua Yang Berhormat-Yang Berhormat, kita had sesuatu 20 minit sahaja. Tidak ada injury time kerana kita ada 11 orang pembahas. Nanti kira-kira pukul 4.30, kita akan berhenti untuk Usul itu dibincangkan dan sudah itu kita akan sambungkan nanti.
Jadi sekarang saya menjemput Yang Berhormat Tuan Nik Mohamad Abduh bin Nik Abdul Aziz, betul ya?
Tuan Nik Mohamad Abduh bin Nik Abdul Aziz
Terima kasih Dato’ Yang di Pertua.
*Bismillahi Rahmani Rahim...
[Berselawat]* Terima kasih Dato’ Yang di Pertua kerana mengizinkan saya untuk turut sama berbahas Rang Undang-undang Perbekalan 2024 yang telah dibentangkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia.
Izinkan saya memulakan perbahasan saya pada kali ini dengan membaca sepotong ayat Al-Quran Karim daripada Surah Al-Ma’idah, ayat 8 [Membaca sepotong ayat Al-Quran] , yang bermaksud, “Wahai orang-orang yang beriman, berdiri teguhlah kamu dalam menegakkan kebenaran, menjadi saksi di muka bumi dengan melaksanakan keadilan dan janganlah kebencian kamu kepada satu-satu kumpulan manusia mendorong kamu untuk tidak berlaku adil. Berlaku adillah sesungguhnya adil itu adalah lebih dekat kepada takwa ataupun takut kepada Allah dan takutlah kamu kepada Allah sesungguhnya Allah Taala iaitu Tuhan yang maha mengetahui segala apa yang kamu lakukan”.
Tuan Yang di-Pertua, belanjawan kali ini adalah yang terbesar yang pernah dibentangkan dalam negara kita di Parlimen ini dengan anggaran peruntukan sebanyak RM393.8 bilion. Dengan perbelanjaan mengurus yang besar iaitu sebanyak RM303.8 bilion dan juga perbelanjaan untuk pembangunan sebanyak RM90 bilion, selain daripada simpanan luar jangka sebanyak RM2 bilion.
Dengan unjuran hasil kerajaan pada tahun 2024, sebanyak RM307.6 bilion iaitu pertumbuhan marginal sebanyak 1.5 peratus. Maka kita melihat bahawa hasil kerajaan tersebut hampir digunakan sepenuhnya iaitu sebanyak 99 peratus hanya untuk perbelanjaan mengurus sahaja. Maka secara langsungnya kerajaan terpaksa terus bergantung kepada hutang baru demi kelangsungan pembangunan negara yang akan menelan belanja sebanyak RM90 bilion.
Tuan Nik Mohamad Abduh bin Nik Abdul Aziz
Ia satu bebanan dan menjadi satu cabaran besar kepada kerajaan kita dalam pengurusan fiskal negara. Laporan Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan juga menyatakan bahawa hasil cukai, terus menjadi penyumbang utama kepada hasil negara dan dijangka meningkat sebanyak 6.4 peratus kepada RM243.6 bilion. Maka untuk mencapainya Tuan Yang di-Pertua, negara mestilah dikukuhkan dengan pertumbuhan ekonomi yang baik dan rancak selain meningkatkan mobilisasi hasil melalui perluasan asas cukai serta menambah baik pematuhan dan ketelusan cukai.
Belanjawan besar ini sudah pasti mampu untuk menjamin kesejahteraan rakyat negara kita jika ia benar-benar dapat dilaksanakan dengan baik. Untuk menjadikannya sebuah kenyataan dan impian kepada kita- semua, sudah pasti lah antara tiang utama yang perlu diperkukuhkan oleh kerajaan hari ini merupakan tiang keadilan dan juga kesederhanaan di dalam membelanjakan hasil mahsul negara tersebut dan itulah semangat yang dibawa oleh ayat Al-Quran yang saya bacakan sekejap tadi di mana Tuan Yang di-Pertua, Allah Taala menyeru melalui ayat tersebut supaya kita menjadi penegak kepada keadilan dan keadilan itu dapat dilihat apabila kita mampu melaksanakannya sama ada ke atas kawan ataupun lawan dan Allah Taala menyebut lagi bahawa siapa sahaja yang berusaha untuk berlaku adil, maka dia sebenarnya telah mendekati sifat takwa, takut kepada Allah SWT. Maka tidak dapat tidak– bahawa dalam melaksanakan belanjawan pada kali ini, tiang keadilan itu mestilah ditegakkan oleh pihak kerajaan.
Cuma Tuan Yang di-Pertua, isu terbesar kita apabila sampai kepada peringkat pelaksanaan adalah lemahnya modal insan, sama ada di pihak orang politik ataupun pegawai kerajaan.
Itulah yang menjadi isunya. Sehingga hasil besar negara yang berjumlah ratusan bilion ini akhir sekali tidak dapat menyempurnakan, menyampaikan kesejahteraan kepada rakyat negara kita. Maka tumpuan utama yang sepatutnya diberikan oleh pihak kerajaan iaitu pembinaan modal insan.
Suka saya menyebut di awal ucapan ini, bagaimana para ulama kita yang bercakap banyak mengenai pembinaan insan ini menyebut bahawa antara sifat utama yang perlu didirikan oleh setiap insan merupakan sifat as-Siddiq, sifat benar dalam diri mereka sehingga mereka benar terhadap diri, benar terhadap orang lain, apatah lagi benar terhadap Allah SWT.
Sebelum sampai kepada peringkat pelaksanaan oleh anggota tubuh oleh tangan dan kaki manusia, maka manusia diminta untuk menyempurnakan sifat benar dalam diri mereka- tiga peringkat, iaitu:
(i) Aashiqui Tauhid, benar dalam perhambaan mereka kepada Allah SWT.
(ii) Aashiqui Fil ilmitorib, mereka benar dalam mengenali jalan menuju Allah Taala.
(iii) Aashiqui Irodah, mereka benar dalam membina kemahuan mereka, kehendak mereka untuk berjalan di atas jalan tersebut.
Terakhir barulah mereka sampai kepada peringkat pelaksanaan iaitu Aashiqui Fil Amal, iaitu mereka benar di dalam melakukan pekerjaan yang mereka mahukan.
Apabila manusia memenuhi tiga peringkat ini, maka kita akan melihat bahawa manusia akan mencapai kejayaan yang cemerlang, termasuklah kita dalam masa kita membangunkan negara kita ini, Allah Taala menyebut dalam Quran... [Membaca sepotong ayat Al-Quran] “Sesungguhnya Allah Taala tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sehinggalah mereka sendiri mengubah apa yang ada dalam diri mereka”.
Maksudnya itu Tuan Yang di-Pertua, apabila kita bercakap mengenai pelaksanaan, maka yang paling penting iaitu binaan modal insan iaitu mereka mesti menyempurnakan diri mereka dahulu. Kalau umat Islam, dia kena pastikan bahawa matlamat pengabdian itu adalah jelas, tidak ada bohong padanya. Itu dalam diri. Akidah mesti betul.
Kedua adalah dalam diri mereka juga iaitu mereka mesti benar dalam ilmu mereka, dalam mengenali jalan yang telah digariskan oleh Allah SWT.
Ketiga, masih lagi binaan dalam diri iaitu mereka mesti memiliki kemahuan yang tinggi untuk melaksanakan apa yang jelas, matlamat kehidupan mereka iaitu menuju Allah SWT. Apabila sempurna binaan dalam diri, itulah maka segala perbuatan mereka, tangan mereka, kaki mereka, mata mereka akan bertindak betul dan itulah hasil yang kita akan dapat lihat.
Tuan Yang di-Pertua, sebenarnya di sebalik, saya sendiri sebenarnya saya terperangkap hati saya ini dalam tempoh sebulan dua ini dengan isu Palestin. Saya tak boleh bercakap kecuali saya akan sentuh juga isu Palestin. Maka izinkan saya untuk kita- saya bawa dalam Dewan yang mulia ini pelajaran daripada apa yang berlaku di bumi Palestin hari ini untuk menunjukkan bahawa benarnya apa yang disebutkan oleh para ulama kita, bagaimana apabila hati telah bersih, diri telah dibina dengan baik, maka hasilnya adalah besar yang bukan hanya dilihat oleh individu tersebut bahkan dilihat oleh dunia dan itulah yang berlaku di bumi Palestin hari ini.
Yang pertama Tuan Yang di-Pertua adalah apabila rejim Zionis ini yang telah hampir lebih 70 tahun menjajah bumi Palestin, maka hari ini bangkit di sebalik peperangan yang dahsyat, yang penuh dengan penganiayaan, pembantaian terhadap anak-anak kecil, wanita dan orang-orang tua tanpa mengira batas, Allah Taala bangkitkan satu kumpulan di bumi Palestin, kumpulan pejuang yang membenarkan janji mereka kepada Allah SWT.
Akhir sekali, mereka melihat bahawa adalah mustahil untuk mereka hidup dalam dunia perhambaan di bawah rejim Zionis. Maka mereka nampak bahawa matlamat mereka iaitu mesti membebaskan diri mereka daripada penjajah Zionis dan kemudian mereka telah benar mengenali jalan bahawa tidak ada jalan lain untuk membebaskan mereka dan bumi mereka daripada penjajahan kecuali memilih jalan yang benar iaitu menempuh jalan jihad di jalan Allah.
Mereka mesti mengorbankan nyawa, darah mereka, demi mencapai apa yang Allah Taala mahu iaitu tidak boleh menghambakan diri kepada kezaliman.
Ketiga, mereka telah membina kemahuan- iradah yang tinggi sehingga mereka hilang dalam tubuh mereka ini perasaan untuk mengutip kepentingan semasa, kepentingan peribadi, kepentingan puak, mereka membuang semua, yang penting iaitu mereka gadaikan nyawa dan darah mereka demi- untuk mencapai kepentingan bersama iaitu membebaskan diri daripada penjajahan.
Akhir sekali, apabila mereka sempurnakan tiga ini, kita melihat suatu peperangan yang dahsyat, sepuak diwakili oleh ketenteraan yang terbesar di dunia yang dianggap paling gagah, bukan hanya Rejim Zionis Israel bahkan disokong oleh kausa-kuasa besar termasuk negara Amerika dan negara-negara Eropah yang besar lain berlawan dengan sekumpulan rakyat yang jumlahnya tak ramai, tetapi hasilnya adalah apa yang dijanjikan oleh Allah SWT.
Suka saya Dato’ Yang di-Pertua untuk menyebut mengenai dua, tiga perkara hasil yang perlu kita belajar. Pertama, perang ini yang berlangsung dalam tempoh yang sudah berlangsung yang kita harapkan berhenti dengan segera, berlangsung lebih kurang dua bulan ini. Pertama adalah tercabutnya akar Islamophobia yang di canang oleh Barat untuk menjauhkan manusia daripada Islam dan umatnya. Ironinya Tuan Yang di-Pertua, Islamophobia ini diajar, di canang oleh Barat bahawa Islam iaitu agama yang berkembang dengan keganasan melalui jihad sehingga ditakutkan dunia dengan Islam, dengan sebab keganasan dan juga jihad.
Tuan Nik Mohamad Abduh bin Nik Abdul Aziz
Akan tetapi Allah Taala gantikannya hari ini. Dunia hari ini mengenali Islam melalui jihad. Jihad di bumi Palestin, akhir sekali membuka mata dunia bahawa Islam rupa-rupanya agama yang adil, agama yang sejahtera.
Sehingga dapat kita lihat hari ini dunia Barat, masyarakat Barat terutama anak-anak muda, fenomena hari ini ialah fenomena buka Al-Quran. Mereka buka Al-Quran, mereka bincang dan disebut dalam apa yang saya baca bahawa di bumi, di negara Perancis sahaja, negara yang memang anti kepada Islam, anak mudanya boleh kata di antara 200 hingga 400 orang memeluk agama Islam setiap hari, hari ini. Dalam tempoh dua bulan ini, sudah berpuluh-puluh ribu orang anak-anak muda memeluk Islam hanya di negara Perancis sahaja.
Itu yang saya hendak sebut yang pertama iaitu tercabutnya akar Islamofobia, yang dicadangkan bahawa ‘Islam agama keganasan’, tetapi melalui jihad yang suci jugalah Allah Taala mengubah pandangan dunia hari ini sehingga dunia hari ini melihat Israel sebagai rejim yang begitu zalim, yang membantai umat Islam di bumi Palestin.
Yang kedua, tumbangnya keegoan dan kebongkakan Rejim Zionis di mata masyarakat dunia hari ini dan yang ketiga secara ringkas saya sebut adalah terbongkarnya sifat munafik negara-negara besar, kuasa-kuasa besar yang terus menyokong secara terang- terangan Rejim Zionis walaupun jenayah perang terlalu nyata yang telah dilakukan oleh rejim Zionis Israel.
Tuan Yang di-Pertua, adalah nyata di hadapan kita bahawa selagi mana negara kita mampu membebaskan diri daripada diikat oleh kuasa-kuasa besar ini, selagi itulah kita akan selamat daripada terheret dalam lubang-lubang kerosakan yang dibina oleh mereka di dunia hari ini. Justeru, Tuan Yang di-Pertua, saya di Dewan yang penuh kemuliaan ini menuntut agar kerajaan mengambil sikap dan langkah proaktif dan berada di barisan hadapan di dalam menyokong dan mendukung perjuangan rakyat Palestin yang menuntut hak dan kemerdekaan negara mereka.
Pertama, kita kekal selama-lamanya tidak mengiktiraf Kerajaan Zionis-Israel pada hari ini. Saya merakamkan ucapan tahniah kepada pemimpin-pemimpin kita yang terdahulu yang sejak awal lagi tidak pernah mengiktiraf negara haram Zionis Yahudi di bumi Palestin sehingga lah pada hari ini. Sehingga kita bebas untuk menentukan sikap kita sendiri pada hari ini.
Kedua, saya mendesak kerajaan terus bersuara setiap masa. Setiap masa terus bersuara untuk mengutuk kekejaman berterusan Zionis ke atas kanak-kanak, perang mereka ke atas kanak-kanak, wanita dan orang-orang tua pada hari ini.
Ketiga, saya mendesak kerajaan terus mendukung perjuangan rakyat Palestin dengan sokongan tidak berbelah bahagi, tanpa rasa takut terhadap ugutan dan kecaman oleh kuasa-kuasa besar termasuklah negara Amerika yang terbukti jelas menyokong pembantaian ke atas rakyat Palestin hari ini.
Saya ucapkan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri yang telah menyebut sebelum ini menyatakan bahawa dia tidak takut dengan sebarang ugutan dan ancaman oleh semua pihak yang mencabar sikap Malaysia terhadap negara Palestin.
Akhir sekali, saya mendesak supaya kerajaan membuat satu ketetapan yang tegas bahawa masa hadapan rakyat Palestin iaitu hak rakyat mereka sendiri di dalam menentukan masa depan mereka dan bentuk negara yang mereka mahukan. Campur tangan berterusan negara-negara kuasa besar adalah salah dan akan membantutkan usaha-usaha pembinaan semula sebuah negara di bumi Palestin hari ini.
Saya bacakan satu hadis sebagai akhir ulasan saya mengenai perang Palestin hari ini dengan hadis Nabi SAW...
[Membacakan sepotong hadis] Rawahul Bukhari, “Muslim adalah seperti sebuah bangunan yang kukuh. Sesama mereka, mereka saling bahu membahu sesama mereka”.
Tuan Yang di-Pertua, akhir sekali isu yang saya hendak sebut. Saya ambil sedikit masa yang ada. Mengenai pemerkasaan Mahkamah Syariah. Saya ingin menyentuh mengenai isu memperkasakan dan memartabatkan Mahkamah Syariah.
Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dalam kenyataan terakhirnya baru-baru ini menyatakan kerajaan telah bersetuju menubuhkan satu Jawatankuasa Khas yang diperakui oleh Majlis Raja-Raja dalam usaha memartabatkan Mahkamah Syariah.
Saya amat menyokong usaha ini dan amat berharap agar isu-isu besar berkaitan dengan konflik antara undang-undang syariah dengan sivil ini, selain daripada pertindihan kuasa antara negeri dan Persekutuan dapat diminimumkan walaupun saya rasa agak mustahil untuk diselesaikan sepenuhnya. Mengapa saya rasa- Saya fikir bahawa agak mustahil untuk diselesaikan sepenuhnya.
Pertama, sifat undang-undang Islam yang menyeluruh dan telah pun sempurna.
Maka, ia akan sentiasa menyaingi undang-undang sivil sedia ada hari ini. Akan ada satu tekanan yang mencabar kekuatan undang-undang sivil daripada umat Islam sendiri yang melihat bahawa hukum Islam adalah telah sempurna dan adil sebagaimana yang terkandung dalam rujukan utama Al-Quran dan hadis Nabi SAW.
Yang kedua, pengagihan kuasa pada Mahkamah Syariah adalah amat kecil. Bahkan dalam ruang-ruang tertentu kelihatan kelabu dan tidak jelas sehingga mendorong kumpulan tertentu yang anti undang-undang Islam untuk hadir dan mencabar keabsahan undang- undang syariah yang telah pun diluluskan oleh Dewan-dewan Negeri untuk Mahkamah Syariah Negeri masing-masing.
Yang ketiga, umat Islam adalah terbeban. Umat Islam adalah terbeban oleh agama mereka untuk berhukum dengan hukum yang selaras dengan undang-undang Islam.
Wujudnya hukum-hukum tertentu dalam undang-undang sivil yang bertentangan dengan undang-undang Islam telah mencetuskan satu desakan berterusan umat Islam untuk berhukum dengan hukum-hukum Islam demi mereka mencapai keredaan Allah.
Tuan Yang di-Pertua, akhir sekali pada hemat saya, walaupun harapan kita adalah besar kepada jawatankuasa khas yang akan ditubuhkan nanti. Penyelesaian sebenar kepada konflik pertindihan kuasa dan undang-undang dalam negara kita adalah dengan memastikan undang-undang sivil terus dibaiki dan ditambah baik sehingga ia selaras dengan undang- undang syariah yang sifatnya adalah adil dan menyeluruh.
Itulah tugas kita, terutama Ahli-ahli Parlimen daripada kalangan umat Islam sama ada di Dewan Negara ataupun di Dewan Rakyat untuk terus memastikan undang-undang sivil negara kita ini tidak bertentangan dengan undang-undang syariah. Semoga negara kita akan sampai kepada pelaksanaan undang-undang yang adil dan mendapat perkenan Allah, Tuhan yang maha adil dan maha penyayang. Sekian, dengan ini saya sudahkan ucapan saya.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Datuk Paul Igai
Terima kasih Yang Berhormat.
Sekarang saya jemput Yang Berhormat Dato’ Ahmad Dato’ Sri Ibrahim. Silakan.
Dato’ Ahmad bin Dato’ Sri Haji Ibrahim
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Yang di-Pertua. Bismillahi Rahmani Rahim. Assalamualaikum, salam Malaysia Madani, segulai sejalai. Masa singkat.
Untuk Belanjawan 2024, kita boleh lihat sebanyak RM393.8 bilion telah diperuntukkan di mana, sejumlah RM303.8 bilion diperuntukkan untuk belanja mengurus.
Manakala, RM90 bilion pula bagi belanja pembangunan dan RM2 bilion untuk simpanan luar jangka. Alhamdulillah, belanjawan kali ini memberi unjuran kepada kita bahawasanya negara kita berada di landasan yang tepat walaupun kita menyedari keadaan ketidaktentuan ekonomi global makin mencabar. Lebih-lebih lagi krisis kemanusiaan di mana serangan rejim Zionis Israel ke atas penduduk Palestin di Gaza dan juga pergolakan krisis geopolitik perang Rusia-Ukraine yang tiada penghujungnya.
Tuan Yang di-Pertua, apa yang menarik perhatian saya terhadap kerangka Belanjawan 2024 yang bertemakan “Reformasi Ekonomi Memperkasakan Rakyat” ialah mengenai penyasaran semula subsidi di mana penyasaran subsidi ini dapat menjimatkan sebahagian hasil dan terus disalurkan kepada bantuan tunai melalui Sumbangan Tunai Rahmah.
Dato’ Ahmad bin Dato’ Sri Haji Ibrahim
Yang akan menjadi masalah saya pandang nanti ialah apabila pelaksanaan penyasaran subsidi itu adakah akan menjadi seperti permasalahan sebelum ini. Sudah pasti saya ingin mengetahui apa langkah-langkah dan juga mekanisme dalam menstrukturkan semula penyasaran subsidi ini, lebih-lebih lagi bila kita hendak menyasarkan subsidi kepada golongan sasar agar tidak tersasar terus daripada matlamat subsidi.
Saya berharap agar kerajaan meneliti kaedah yang mana lebih bagus untuk menyasarkan subsidi bersasar ini. Kemungkinan mekanisme apungan terurus boleh disyorkan untuk kerajaan. Kaedah ini berasaskan mekanisme harga automatik (APM) dan juga kadar mata wang yang mana kerajaan akan mengira harga purata bagi bulan tertentu dan menetapkan harga untuk bulan berikutnya. Apa-apa jua keputusan saya berharap agar kerajaan terus komited membela nasib rakyat.
Saya menyokong langkah kerajaan untuk memperkukuhkan kapasiti dan fungsi Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) untuk mengawal ketat dan menghapuskan amalan pakat harga. Ini lah jalan terbaik untuk memastikan tiada lagi alasan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab untuk menaikkan harga yang tidak munasabah, sewenang- wenangnya.
Datuk Yang di-Pertua, untuk tahun 2024, sebanyak RM2.4 bilion diperuntukkan untuk membina, menyelenggarakan dan membaik pulih kuarters penjawat awam, guru, hospital, anggota polis, tentera dan bomba. Ini memberi gambaran bahawa kebajikan penjawat awam terus terbela. Manfaat yang cukup besar untuk penjawat awam. Penjawat awam merupakan nadi dan jantung kepada kerajaan. Saya sebagai seorang daripada anak pegawai polis yang pernah tinggal di beberapa buah kuarters kerajaan yang berlainan sampai umur 16 tahun, saya ucapkan- alhamdulillah dan terima kasih kepada kerajaan. Sekarang sudah terlalu banyak yang boleh dikatakan daif- about time and its overdue, terima kasih.
Saya juga mengambil baik dengan pelan untuk membangunkan ekonomi rakyat seperti Program Pembangunan Premis Tamu Desa, untuk membangunkan infrastruktur keusahawanan bagi penjaja dan peniaga kecil terutamanya di Sarawak dan Sabah. Selain menjadikan Tamu Desa sebagai platform dan one-stop-center, dengan izin, saya berharap infrastruktur ini menjadi satu- tempat yang bermanfaat untuk penjaja dan peniaga kecil. Malah boleh dijadikan sebagai tempat tarikan untuk pelancong luar dan dalam.
Kalau boleh, saya cadangkan supaya konsep Tamu Desa nanti berciri tradisional dan moden lengkap dengan kemudahan Wifi, saya berharaplah. Ini satu-satunya cara untuk penjaja dan peniaga untuk mengembangkan saiz ekonomi mereka dan juga memasarkan produk tempatan kepada pengunjung luar yang berkunjung ke Tamu Desa.
Datuk Yang di-Pertua, dalam kita memacu ekonomi penjaja dan peniaga, kebajikan mereka haruslah terbela dan terjaga. Saya menyokong pemodenan prasarana awam seperti gerai, pusat penjaja, warung kecil dan gerai. Saya boleh katakan ini adalah budaya dan tradisi Malaysia sejak dahulu lagi yang harus kita kekalkan dan mesti diperkasakan supaya ada kesinambungan untuk generasi akan datang.
Contoh terbaik yang boleh saya kongsi ialah negara jiran kita Singapura di mana mereka jadikan hawker stalls, dengan izin, hawkers food court sebagai budaya mereka sehingga mereka menjadikan food court ini sebagai tempat tarikan kepada pelancong dari luar negara, yang singgah.
Kita perlu terapkan kebudayaan ini menjadi jambatan kepada perkembangan ekonomi untuk rakyat. Peranan ini patut diambil kira dan diberi sokongan yang padu oleh ketiga-tiga kementerian iaitu Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi dan juga Kementerian Pembangunan dan Kerajaan Tempatan.
Dalam masa yang sama, tempat sebegini telah jadi tempat lepak masyarakat kita yang berbilang kaum, bercampur gaul dan mengeratkan silaturahim dengan komuniti setempat. Saya harap selepas ini boleh juga kita ketengahkan bazar Ramadhan dan bazar Aidilfitri di bawah prasarana awam atau pasar khas yang tetap dan boleh dikongsikan dalam musim dan pusingan dengan yang lain-lain perayaan seperti Moon Cake Festival, Lantern Festival, Deepavali dan Krismas, untuk pedagang kecil.
Datuk Yang di-Pertua, apabila kita bercakap mengenai soal kos sara hidup rakyat, benda dan perkara asas ialah pendapatan rakyat. Adakah ia setimpal dengan kos kehidupan ini termasuklah harga-harga barang mentah, barang basah dan sebagainya. Keperluan dan kehendak mereka patut diambil kira juga. Oleh itu saya menyokong usaha kerajaan dalam mengetengahkan isu berkenaan penyeragaman harga barang di Sarawak, Sabah dan Labuan. Kita tahu sejak tahun 2009 lagi usaha ini telah dilakukan dan ditambah baik. Bukan apa, kita juga mahu rakyat di pendalaman dan luar bandar dapat menikmati harga yang sama seperti mana yang kita nikmati di bandar-bandar besar sekarang.
Datuk Yang di-Pertua, saya menyambut baik Kerajaan Persekutuan menyokong hasrat Sarawak untuk membangunkan Institut Kanser di Sarawak. Ini kerana, kanser merupakan penyakit berjangkit kedua terbesarnya dikesan di Sarawak. Ia boleh memudahkan pesakit-pesakit kanser dalam Wilayah Sarawak dirawat dan tidak perlu lagi untuk mereka pergi ke Kuala Lumpur atau Kota Kinabalu yang boleh membebankan mereka daripada segi kos pengangkutan, penginapan dan makan minum. Terima kasih daripada kami yang mempunyai ahli keluarga yang masih atau pernah menghidap penyakit kanser.
Datuk Yang di-Pertua, soal kesihatan merupakan perkara yang paling penting dalam kehidupan kita. Selain menjaga kesihatan diri kita, fasiliti atau kemudahan kesihatan mestilah setaraf dengan apa yang kita inginkan.
‘Retirement Village’, dengan izin, ‘Kampung Pesara’. Bolehkah kerajaan memikirkan untuk membiayai atau menyerah dengan sokongan padu kepada pihak swasta untuk membina dan menjaga populasi warga tua yang semakin bertambah kini? Kemungkinan kerajaan boleh menyediakan beberapa bentuk rebat cukai untuk mereka yang ingin meneroka pasaran khusus ini untuk pesara dengan kemudahan perubatan lengkap dan pusat penjagaan khas. Tolong jangan disamakan dengan old folks home atau rumah orang tua.
Something yang better, dengan izin, yang lengkap.
Kita- semua tidak boleh lari daripada menjadi tua. Kita- semua harus mempertimbangkan isu ini untuk diri kita sendiri dan mereka yang akan mengikuti kita pada masa yang akan datang.
Datuk Yang di-Pertua, mengenai keselamatan dan pertahanan pula, saya menyambut langkah kerajaan untuk menambah bilangan aset ketenteraan. Cuma untuk aset di kawasan perairan hanya penambahan bot pemintas, kapal peronda dan bot pelbagai jenis sahaja yang ditambah. Bagi saya untuk kawasan perairan negara harus dijaga dengan penambahan aset kapal-kapal besar yang lebih canggih Kapal China Coast Guard selalu menceroboh kawasan perairan negara kita dan negara jiran kita seperti Vietnam, Philippines, Brunei, Taiwan dan Indonesia. Sendirian kita mungkin dilihat sebagai tiada apa-apa, tetapi sebagai ASEAN Joint Naval Grouping, dengan izin, kita harus dilihat sebagai kuasa yang menggerunkan untuk diambil serius dan tidak dibuli.
Dato’ Ahmad bin Dato’ Sri Haji Ibrahim
Kebanyakan kita di Asia Tenggara ini terletak di dalam The Malay Archipelago dengan izin, Kepulauan Melayu. Mungkin perlu ada inisiatif untuk Malaysia ke ASEAN mencadangkan untuk menukar nama Laut China Selatan kepada nama asalnya, Laut Champa dengan PBB.
Nama Laut China Selatan telah menimbulkan keangkuhan yang mengelirukan di pihak negara China. Perkara sebegini juga patut harus ditangani agar kedaulatan negara terus terjaga dan terkawal. Pencerobohan tersebut dianggap sebagai ancaman kepada kawasan pesisir dan kawasan perairan negara kita.
Sudah tiba masanya kerajaan dan kementerian meneliti semula program penambahbaikan aset-aset kapal perang Tentera Laut Diraja Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Polis Marin, supaya ada ketegasan dan lebih keupayaan daripada kita untuk menjaga dan mengawal kawasan pengairan kita.
Akhir kata, saya berharap belanjawan kali ini dapat memangkin pertumbuhan ekonomi negara dan seterusnya memacu negara kita untuk terus berdaya saing dan terus ke depan dalam mendepani suasana ekonomi yang mencabar. Dengan ini Datuk Yang di- Pertua, saya menyokong Belanjawan 2024. Terima kasih.
Datuk Paul Igai
Terima kasih. Ringan sikit saya. Saya nak habiskan tiga lagi ya.
Tiga.
Sekarang menjemput Yang Berhormat Senator Dato’ Shamsuddin bin Haji Abd.
Ghaffar.
Dato’ Shamsuddin bin Haji Abd. Ghaffar
Terima kasih Datuk Yang di-Pertua.
Bismillahi Rahmani Rahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam sejahtera dan salam Malaysia Madani.
Terlebih dahulu saya mengucapkan syukur ke hadrat Allah SWT kerana diberikan kesihatan yang baik untuk sama-sama turut membahaskan RUU Perbekalan 2024 ataupun Belanjawan 2024. Saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Datuk Yang di-Pertua kerana memberikan izin untuk saya mengambil bahagian membahaskan RUU ini.
Dari Setiawan ke Kuala Kedah, Singgah sekejap di Bagan Serai, Belanjawan negara dirangka sudah, Rakyat berharap masalah mereka akan terlerai. Tan Sri Yang di-Pertua, saya mulakan perbahasan ini dengan menyentuh keterjaminan makanan. Saya memilih untuk mendahulukan isu ini kerana sebaik mana sekali pun perancangan yang dirangka untuk kesejahteraan rakyat, kecapaian matlamatnya akan terjejas jika masalah rakyat tidak dapat diselesaikan. Kelihatan pelik tetapi benar. Negara yang dianugerahkan Ilahi dengan tanah yang subur, kawasan yang luas dan sesuai untuk pertanian serta iklim yang sesuai mengalami masalah untuk menampung keperluan makanan rakyat. Di sebalik sindrom pelik dan benar itu, negara perlu membelanjakan kira-kira RM70 bilion setahun untuk mengimport pelbagai barang makanan bagi menampung keperluan 33 juta orang rakyat di negara ini.
Angka RM70 bilion ini merupakan kira-kira 18 peratus daripada belanjawan negara untuk tahun 2024. Begitu banyak wang kita mengalir ke luar negara demi menjamin rakyat mendapat makanan yang secukupnya. Bukan tidak disedari sejak dulu lagi bahawa penghasilan beras di negara ini tidak pernah mencapai tahap yang cukup untuk rakyat.
Mengikut rekod, kadar sara diri beras negara bagi tahun-tahun 2020, 2021 dan 2022 masing- masing pada kadar 62.9 peratus, 65.2 peratus dan 62.5 peratus. Justeru, bagi menampung keperluan beras untuk rakyat, sebanyak kira-kira 40 peratus bekalan beras perlu diimport.
Satu lagi kisah pelik tetapi benar, mengenai bekalan benih padi. Dalam pada kita riuh rendah membincangkan bagaimana hendak meningkatkan penghasilan padi per hektar termasuk soal agronomi, teknologi pertanian, pengurusan air di sawah dan sebagainya, tiba- tiba kita dikejutkan dengan kisah para pesawah tidak dapat bekalan benih padi yang sesuai dan mencukupi. Dalam masa yang sama, harga benih padi naik mendadak. Kita boleh sahaja menuding jari kepada pelbagai pihak tetapi natijahnya para pesawah terus menjadi mangsa dan usaha meningkatkan penghasilan padi tidak akan tercapai. Sekali gus agenda keterjaminan makanan terus akan gagal.
Situasi tersebut mendedahkan rakyat dan negara kepada beberapa kebarangkalian dan risiko termasuk ketidakcukupan bekalan beras import, kenaikan harga yang tidak dapat dikawal, persengketaan geopolitik, bencana alam dan perubahan iklim, pemberhentian bekalan dari negara-negara pembekal atas sebab-sebab tertentu dan sebagainya. Perkara yang saya bangkitkan ini bukan di luar pengetahuan pihak kerajaan.
Tidak kira kerajaan dulu ataupun kerajaan sekarang. Cuma yang menjadi persoalan ialah kenapa setelah terhantuk baru tengadah. Namun, masih sebelum terlewat untuk pembetulan kesilapan silam demi kemaslahatan rakyat. Saya tidak ada membawa idea untuk disampaikan bagi menangani isu keterjaminan makanan. Walau bagaimanapun, memadai sekiranya saya menyuarakan pandangan berikut kalau-kalau boleh dimanfaatkan.
Berpijaklah di bumi nyata dalam mendepani realiti.
Elakkan berpolemik dan mempolitikkan isu berkaitan dengan makanan rakyat.
Berhenti sindrom penafian dan penyataan populis yang akhirnya memerangkap rakyat dan negara dalam masalah yang sukar dirungkaikan. Realisasikan apa yang di rencana dalam Belanjawan 2024 dalam konteks keterjaminan makanan negara. Elakkan pembaziran dan tumpukan kepada pencapaian matlamat dan mengatasi masalah. Saya ingin mengingatkan diri saya dan juga sekalian Ahli Dewan serta mereka yang bergelar pemimpin bahawa rakyat yang lapar membuka minda mereka untuk diisi dengan elemen-elemen yang boleh menjerumuskan rakyat dan negara ke lembah kehancuran.
Tan Sri Yang di-Pertua, saya ingin beralih kepada soal kesihatan rakyat. Kementerian Kesihatan adalah antara kementerian yang mendapat peruntukan yang besar iaitu kira-kira RM41.22 bilion iaitu jumlah peruntukan ini adalah di antara yang terbesar dalam Belanjawan 2024. Ini mencerminkan keprihatinan dan komitmen pihak kerajaan terhadap kesihatan rakyat.
Sehubungan dengan perkara itu, saya ingin menyentuh beberapa aspek yang dianggap wajar diberi perhatian iaitu di antaranya termasuk sering kedengaran rungut wad yang penuh, tak cukup katil, tak cukup doktor pakar, kekurangan jururawat terlatih dan tak cukup peralatan perubatan dan kesesakan di unit-unit kecemasan dan sebagainya. Selain daripada itu, turut kedengaran rungutan tentang perlakuan kurang mesra terhadap pesakit oleh petugas-petugas kesihatan.
Dato’ Shamsuddin bin Haji Abd. Ghaffar
Sesungguhnya kerja menuding jari punca kepada kelemahan-kelemahan itu amat mudah, namun apa yang lebih penting ialah soal penambahbaikan. Saya berpendapat bahawa induk dan punca kepada usaha menambahbaikkan ialah faktor kemanusiaan. Ini menjurus kepada suntikan nilai-nilai murni dalam soal tadbir urus, tata kelola serta hubungan mesra dan rasa simpati terhadap pesakit dan juga pelanggan. Sehubungan dengan ini, elok kiranya skim latihan petugas-petugas kesihatan diberi lebih penekanan tentang soal sikap dan etika serta kemahiran berorientasi dengan pesakit. Di samping keberkesanan ubat dan juga rawatan, soal menjaga hati dan perasaan pesakit juga amat penting.
Dalam masa yang sama kita sering mendapat rungutan tentang klinik-klinik kesihatan yang tidak cukup bilangannya untuk menampung keperluan di kawasan-kawasan desa dan juga pedalaman serta kemudahan-kemudahan yang tidak mencukupi. Diharapkan peruntukan kepentingan kesihatan bagi tahun 2024 akan dapat mengatasi isu-isu yang dibangkitkan ini. Ungkapan, “mencegah lebih baik daripada mengubat” tidak pernah terpadam dalam dunia perubatan dan juga amalan kesihatan. Sesungguhnya pihak Kementerian Kesihatan memang mempunyai dan melaksanakan program pencegahan dan mitigasi, namun apa yang saya ingin bangkitkan di sini ialah soal pelaksanaan dan tindakan penguatkuasaan serta keberkesanannya.
Sehubungan itu, saya mengucapkan tahniah kepada Kementerian Kesihatan kerana membentangkan RUU Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023. Selain daripada itu, bagaimanakah dengan kawalan ke atas produk-produk lain yang membahayakan kesihatan? Ini termasuk bahan larangan dalam produk-produk kosmetik, ubat-ubatan dan sebagainya. Bagaimana pula dengan kawalan ke atas bahan membahayakan kesihatan yang terdapat dalam produk-produk makanan segera, kudap- kudapan kegemaran kanak-kanak dan sebagainya termasuk apa yang disebut sebagai makanan segera. Bagaimanakah dan setakat mana kawalan serta tindakan penguatkuasaan mengenai perkara ini kerap menimbulkan tanda tanya?
Kata orang tua-tua, “Akar yang sihat datangnya daripada pokok yang sihat.”, dan terdapat juga ungkapan yang berbunyi, “Fikiran yang cerdas datangnya dari badan yang cergas.” Justeru, peranan Kementerian Kesihatan yang diberikan peruntukan yang begitu banyak merupakan cerminan usaha gigih untuk menentukan rakyat sihat kerana rakyat yang sihat boleh menjamin masa depan negara.
Tan Sri Yang di-Pertua, di samping itu, kerajaan perlu juga mengambil berat mengenai penjagaan kesihatan dan kebajikan warga emas. Kalau boleh disediakan jumlah dengan jelas peruntukan yang diperlukan oleh golongan ini. Golongan warga emas ini tidak harus dilupakan kerana golongan ini bukan tiba-tiba menjadi tua. Sepanjang tempoh mereka masih muda dan aktif mental dan fizikal mereka, sikit sebanyak pernah berbakti kepada rakyat dan negara. Sebilangan daripada mereka bergadai nyawa untuk berkhidmat kepada negara, sama ada secara langsung atau tidak langsung. Justeru, mereka perlu diambil perhatian berat.
Tan Sri Yang di-Pertua, saya juga mengambil peluang di Dewan yang mulia ini untuk mengucapkan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dan kerajaan kerana dijangka menaikkan gaji penjawat awam dan elaun pesara pada tahun hadapan sebagai salah satu usaha untuk merancakkan kembali ekonomi negara. Ini sudah pasti menggembirakan kira-kira 1.6 juta orang penjawat awam dan kira-kira 900,000 orang pesara- pesara. Sudah kira-kira 14 tahun skim penjawat awam ini tidak disemak.
Perlu diingat, gaji penjawat awam akan tinggal separuh apabila mereka bersara sebagai bayaran pencen bulanan. Majoriti daripada mereka ini mendapat bayaran pencen yang tergolong dalam kategori kurang berkemampuan. Malah, sebilangan daripada penjawat awam yang masih bertugas pun terdapat golongan yang menerima gaji bulanan yang boleh dikategorikan sebagai golongan kurang berkemampuan. Semoga dengan pelaksanaan Dasar Gaji Progresif yang dijangka bermula pada bulan Jun 2024, mereka tidak tergolong dalam kategori yang saya sebutkan tadi.
Tan Sri Yang di-Pertua, saya akhiri bingkisan perbahasan saya dengan dua rangkap pantun.
*Kalau tuan pergi ke daik, Belikan saya ikan gelama, Kalau belanjawan di susun baik, Keberkahannya dikongsi bersama.
Rintik-rintik hujan gerimis, Singgah berteduh di pohon jati, Bawalah balik mana yang manis, Sebarang yang keruh tinggalkan di sini...
[Tepuk]* Sekian, terima kasih Dato Yang di-Pertua. Saya mohon menyokong.
Datuk Paul Igai
Terima kasih. Mungkin pantun yang akan dibalas oleh Yang di- Pertua Tan Sri nanti.
Sekarang kerana Yang Berhormat Tuan Roderick ada mesyuarat selepas ini pukul 4, saya minta, menjemput Tuan Roderick, berbahas. Sila.
Tuan Roderick Wong Siew Lead
Terima kasih Dato’ Yang di-Pertua. Salam hormat dan selamat petang, yang dimuliakan Tuan Speaker dan Ahli-ahli Yang Berhormat Senator sekalian. Sebelum meneruskan perbahasan saya di Dewan yang mulia ini, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk merangkapkan terima kasih dan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri kerana Belanjawan 2024 telah menumpukan dalam reformasi ekonomi serta memperkasakan rakyat Malaysia.
Perkara yang paling utama yang ingin saya sentuh pada hari ini adalah tidak lain dan tidak bukan, mengenai Perjanjian MA63. Sudah menjadi seperti satu budaya ataupun norma bagi kami dari Sarawak untuk bercakap mengenai Perjanjian MA63.
Perkara pertama yang ingin saya bawa pada persidangan kali ini iaitu mengenai perbelanjaan pembangunan bagi negeri Sarawak di bawah RUU Perbekalan dan Usul Anggaran Perbekalan Perbelanjaan 2024.
Saya menghargai usaha Kerajaan Perpaduan kerana untuk merealisasikan Perjanjian MA63 ini. Namun, untuk pengetahuan Dewan yang mulia ini dan dengan kemudahan-kemudahan teknologi yang semakin meningkat kini, semakin ramai rakyat Sarawak dan Sabah, semakin sedar dan memahami inti pati Perjanjian MA63 ini. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Perdana Menteri kita di atas meningkatnya jumlah peruntukan Perbelanjaan Pembangunan berjumlah RM5.8 bilion pada Sarawak.
Walau bagaimanapun, ramai rakyat di Sarawak telah mengeluarkan rasa tidak puas hati kerana mereka tidak puas hati dengan peruntukan Sarawak di bawah Belanjawan 2024 kali ini. Kalau dibandingkan tahun 2022, peruntukan sebanyak RM4.67 bilion, tahun 2023 sebanyak RM5.6 bilion. Kenaikan sebanyak RM930 juta tapi tahun 2024, peruntukan dinaikkan cuma hanya RM200 juta ke RM5.8 bilion bagi tahun hadapan. Secara ikhlas, saya berpendapat kenaikan ini agak rendah kalau dibandingkan dengan tahun-tahun sebelum ini.
Peruntukan Sarawak perlu lebih inklusif, adil dan seimbang kerana jurang pembangunan di Sarawak semakin melebar kalau dibandingkan dengan Semenanjung.
Satu fakta yang sudah tidak asing lagi bagi kita- semua, Sarawak negeri ialah paling luas di Malaysia. Jumlah penduduk semakin meningkat dan kos sara hidup semakin membimbangkan sudah tentunya memerlukan lebih banyak pembangunan dalam setiap aspek seperti kemudahan prasarana, pendidikan, kesihatan, pengangkutan, keselamatan dan sebagainya.
Tuan Roderick Wong Siew Lead
Jadi saya ingin menyuruh agar kerajaan mengambil pendekatan dan langkah- langkah yang lebih inklusif, lebih adil dan lebih seimbang untuk mengurangkan jurang pembangunan yang sangat ketara sekian lama di antara Semenanjung, Sarawak dan Sabah selaras dengan kesepakatan yang terkandung di dalam Perjanjian MA63 ini.
Datuk Yang di-Pertua, perkara seterusnya yang ingin saya bangkitkan di bawah tanggungjawab Kementerian Kewangan ialah mengenai caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja ataupun KWSP. Seperti yang kita sudah sedia maklum, menurut jawapan Timbalan Menteri Kewangan baru-baru ini, simpanan KWSP rakyat-rakyat kita sudah berada di tahap kritikal.
Menurut laporan beberapa buah media, jawapan bertulis Kementerian Kewangan baru-baru ini menyatakan bahawa hanya seramai 6.3 juta atau 48 peratus daripada ahli KWSP berumur bawah 55 tahun mempunyai simpanan kurang daripada RM10,000. Ini bermakna pendapatan persaraan sebanyak RM42 sebulan bagi tempoh 20 tahun. Ini suatu tahap yang sangat kritikal. Cuba bayangkan apa yang kita boleh makan dengan hanya RM40 sebulan ini. Keadaan ini sudah pasti akan menjadi satu beban yang besar kepada negara.
Saya menyokong penuh usaha kerajaan setakat ini dalam usaha untuk menarik minat rakyat untuk mencarum dengan menambah baik, memperluaskan dan menstrukturkan semula struktur KWSP yang sedia ada. Saya berpendapat usaha ini tidak mencukupi. Usaha- usaha perlu diperluaskan untuk meningkatkan sumber pendapatan rakyat kita.
Bercakap tentang sumber tenaga kerja dan peluang pekerjaan, saya ingin mendapatkan penjelasan tentang insentif kerajaan iaitu PenjanaKerjaya yang ada asalnya ditumbuhkan untuk membantu golongan rendah yang tidak aktif bekerja. Program atau insentif yang sangat baik daripada pihak kerajaan untuk membantu rakyat menambahkan sumber pendapatan mereka. Namun, menurut banyak laporan media, insentif ini telah diselewengkan oleh banyak pihak yang tidak bertanggungjawab.
Jadi, saya ingin tahu setakat ini, berapa ramaikah yang telah terkait dengan skandal insentif Penjana ini? Selain melalui PERKESO, apakah atau adakah sebarang inisiatif lain kerajaan untuk membuka peluang pekerjaan kepada golongan rendah dan golongan tidak aktif bekerja di bawah Belanjawan 2024 khasnya bagi golongan rakyat di luar bandar?
Apakah langkah-langkah kerajaan untuk memastikan tiada penyelewengan berlaku seperti apa yang berlaku kepada PENJANA?
Datuk Yang di-Pertua, berkaitan isu KWSP ini dengan jumlah caruman yang sangat menyedihkan, saya dapat merumuskan bahawa sistem perlindungan sosial untuk warga emas kita adalah sangat lemah. Menurut laporan dari Jabatan Statistik Malaysia setakat 2022, terdapat seramai 11 peratus atau 3.6 juta orang warga emas. Manakala menjelang 2030, dijangkakan 15.13 peratus atau 5.8 juta orang penduduk akan mencapai usia 60 tahun dan ke atas. Kita sedang menghadapi fenomena pengurangan penduduk dan fenomena ini akan memberikan impak yang besar kepada negara dan rakyat daripada segi ekonomi, produktiviti, kesejahteraan sosial, kualiti kehidupan dan kesihatan.
Kalau mengikut takrifan PBB atau Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menyatakan bahawa sebuah negara sedang menuju ke masyarakat menua apabila jumlah populasi berusia 65 tahun ke atas mencapai tujuh peratus. Kalau menurut laporan Jabatan Perangkaan pula, kita sedang mencapai masyarakat tua pada tahun 2020. Jadi kalau kita melihat dari 2020 sehingga tahun ini, apakah pencapaian kita setakat ini di dalam menangani isu-isu yang berkaitan dengan warga emas kita?
Jadi saya ingin mendapatkan penjelasan, apa langkah jangka masa pendek dan jangka masa panjang untuk Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bagi menangani dan menambah baik kebajikan termasuk kemudahan-kemudahan dan sistem sokongan bagi memastikan kebajikan warga emas kita terjaga khasnya bagi golongan warga emas yang tinggal di luar bandar? Dengan ini saya ingin mencadangkan kepada pihak kerajaan agar Sumbangan Tunai Rahmah atau STR diwajibkan kepada golongan warga emas yang kurang upaya dan berpendapatan rendah.
Seterusnya Dato Yang di-Pertua, saya ingin menyentuh tentang perbelanjaan peruntukan di bawah Kementerian Komunikasi dan Digital. Saya ingin menarik perhatian Ahli- ahli Yang Berhormat mengenai pengalaman seorang guru yang mengajar di pedalaman Sarawak. Di antara banyak-banyak pengalaman guru-guru yang mengajar di Sarawak, saya tertarik dengan pengalaman guru ini. Dengan inisiatif sendiri, guru ini terpaksa membeli alat peranti Starlink untuk menyelesaikan masalah capaian internet yang sangat terhad di sekolah tempat beliau mengajar.
Menurut guru tersebut, capaian internet yang disediakan oleh pihak sekolah melalui satelit sangat rendah dan terhad dengan kuota limit tiga byte sebulan dengan kelajuan purata 25 megabyte sahaja. Talian Internet telefon juga hanya setakat 2G dan sangat tidak stable. Guru ini telah menggunakan gaji dia sendiri untuk membeli Starlink yang bernilai RM2,400 semata-mata untuk mendapatkan capaian berkelajuan yang lebih tinggi demi membantu memudahkan kerjanya sebagai seorang guru dan meningkatkan tahap pembelajaran anak murid di sekolah tersebut.
Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk merangkapkan syabas kepada tindakan guru ini dan setinggi-tinggi penghargaan atas dedikasi dan pengorbanan semua guru-guru yang mendidik anak-anak kita di kawasan pedalaman tidak mengira sama ada di Sarawak, Sabah mahupun di Semenanjung.
Menurut laporan yang saya petik dari laman Kementerian Komunikasi dan Digital, Sarawak dijangkakan akan menikmati capaian internet menyeluruh menjelang 2024 di bawah program Jalinan Digital Negara (JENDELA) fasa 2. 80 peratus kawasan di Sarawak kini mempunyai liputan di bawah program JENDELA fasa pertama. Pihak kementerian juga sedang dalam proses perundingan untuk meningkatkan penggunaan satelit kerana 600 buah lokasi dikenal pasti untuk mendapatkan perkhidmatan ini. Saya ingin tahu di manakah lokasi- lokasi yang telah dikenal pasti ini.
Saya juga ingin turut membawa suara daripada pihak-pihak di bawah Meradong iaitu Skim-B, Tulai, Jalan Sing Ba dan kawasan Sarikei iaitu Bulat, Merudu yang sudah sekian lama kekurangan kemudahan ini walaupun pelbagai usaha telah dilakukan untuk mendapatkan kemudahan ini tapi masih belum mendapat perhatian yang sewajarnya. Saya mohon agar pihak kementerian untuk mengambil maklum akan hal ini. Dalam dunia yang sedang beralih dan bergerak pantas ke arah keseimbangan baharu yang dikuasai oleh teknologi digital, saya mohon agar pihak kementerian dapat merealisasikan dan menyelesaikan masalah capaian internet ini agar kita rakyat di Sarawak dapat meningkatkan mutu kehidupan kami dan menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara secara amnya.
Saya ingin mencadangkan kepada pihak kementerian agar kemudahan Starlink ini digunakan sementara menunggu siapnya pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara ini siap di Sarawak.
Perkara seterusnya Dato Yang di-Pertua, menurut laporan lebih kurang RM5.647 bilion diperuntukkan kepada pihak kementerian bagi tahun 2024. Peningkatan sebanyak lebih kurang RM313.3 juta daripada jumlah peruntukan tahun 2023. Saya ingin tahu berapakah pecahan peruntukan di bawah kementerian ini di antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak?
Saya juga ingin memohon perincian perbelanjaan sama ada dalam bentuk program atau projek-projek termasuk projek penyelenggaraan dan penambahbaikan yang akan diberi pada Sarawak khususnya.
Sejumlah RM81 juta diperuntukkan dalam belanjawan ini bagi perbelanjaan pembangunan taman awam, pembangunan landskap dan penyelidikan dan pemuliharaan landskap. Saya menyeru kepada pihak kementerian untuk memberikan perhatian kepada pembangunan prasarana khasnya taman-taman rekreasi bagi penduduk-penduduk yang menetap di kawasan pinggir bandar ataupun pekan-pekan kecil di Sarawak. Terlalu banyak taman-taman rekreasi yang kini sudah rosak, menyakitkan mata dan ada sesetengah tempat membahayakan kepada kanak-kanak khasnya.
Tuan Roderick Wong Siew Lead
Saya ingin membawakan perhatian pihak kementerian kepada satu-satu taman rekreasi di Bintangor, Sarikei ini. Keadaan taman ini sudah sangat menyedihkan dan memerlukan perhatian pihak kementerian KPKT. Di sini lah tempat penduduk setempat untuk berekreasi, berehat dan tempat kanak-kanak bermain. Saya sendiri turun padang meneliti keadaan. Saya sendiri melihat kebanyakan fasiliti-fasiliti playground telah rosak dan membahayakan kanak-kanak semasa bermain. Laluan bagi orang awam untuk joging juga banyak yang sudah berlubang-lubang dan simen lantai juga sudah banyak lumut kerana tidak diselenggarakan oleh pihak-pihak yang berkenaan.
Selain itu, Pasar Tamu Bintangor juga menghadapi nasib yang sama dan memerlukan perhatian daripada pihak kementerian. Keadaan sosial pasar tamu ini sudah terlalu rosak. Banyak lampu dan kipas yang telah lama rosak. Bumbung rosak menyebabkan air hujan masuk ke dalam pasar. Jumlah penambahan penduduk, pasar ini sudah semakin sesak. Jumlah penjual juga semakin meningkat dan mereka terpaksa menjual barangan mereka di atas lantai sahaja. Keadaan kedudukan restoran makanan dan minuman bersebelahan dengan tempat menjual barang pasar seperti ayam, ikan dan daging.
Saya ingin memohon agar pihak kementerian KPKT untuk dapat mengambil perhatian terhadap masalah kami di Pasar Tamu Bintangor ini. Saya bersetuju dengan rancangan perancangan kerajaan untuk menambah baik prasarana tandas-tandas awam di pihak berkuasa tempatan (PBT) seluruh negara. Saya mohon agar keseimbangan peruntukan diberikan kepada pembangunan kemudahan seperti taman rekreasi dan pasar- pasar tamu. Saya percaya ketiga-tiga perkara ini bukan sahaja dapat meningkatkan kualiti kehidupan rakyat setempat malahan ia juga boleh menjadi salah satu daya tarikan pelancong.
Isu selanjutnya, saya ingin membangkitkan isu yang saya percaya semakin teruk, gejala sosial khususnya penyalahgunaan dadah dan perjudian atas talian. Statistik Agensi Antidadah Kebangsaan melaporkan peningkatan sebanyak 27 peratus atau sejumlah 118,820 orang penagih dari Januari sehingga Jun tahun ini, berbanding dengan tempoh yang sama pada tahun lepas yang berjumlah 93,534 orang penagih. Apa yang lebih menyedihkan ialah 65 peratus daripada penagih-penagih ini terdiri daripada golongan belia dan remaja.
Tetapi jumlah ini merupakan golongan mereka yang sudah dikenal pasti tapi saya percaya jumlah sebenarnya adalah lebih tinggi. Golongan yang menggunakan tetapi belum dikenal pasti ini yang amat merisaukan saya.
Di Sarawak pula, setakat September tahun ini, kes penyalahgunaan dadah telah meningkat sebanyak 11.88 peratus dengan 9,984 tangkapan dibuat berbanding dengan 8,030 pada tahun sebelum ini. Manakala, Pengerusi Persatuan Pencegahan Dadah Malaysia atau PEMADAM terus melaporkan baru-baru ini seramai 9,198 orang individu telah ditangkap kerana terbabit dalam kegiatan penyalahgunaan dadah di Sarawak bagi tempoh Januari sehingga Oktober tahun ini. Walaupun mengikut laporan kadar penyalahgunaan data di Sarawak masih di tahap rendah berbanding dengan negeri-negeri lain, apa yang saya bimbang ialah golongan pengguna yang belum dikenal pasti dan jumlah pengedar yang semakin meningkat.
Di kawasan kampung-kampung di Sarikei kini sudah mula wujud kontena-kontena dan kedai runcit yang menjual barangan runcit di kebun-kebun atau di kawasan pertanian atau di tepi jalan di kampung. Padahal kawasan ini tidak mempunyai ramai penduduk dan lokasi kontena yang tidak strategi di kawasan kebun-kebun dan bengkel jalan yang sunyi.
Apa yang menghairankan lagi ialah pemilik kontena-kontena ini bukan penduduk setempat.
Ada desas-desus yang mengesyaki kontena-kontena ini merupakan sarang aktiviti yang berkaitan dengan dadah dan perjudian.
Selain daripada itu, semakin ramai ibu bapa yang mengadu kepada saya tentang kebimbangan mereka terhadap gejala sosial ini di kalangan pelajar-pelajar di Sarikei. Ramai juga para ibu bapa yang mengadu kepada saya kerana mereka terpaksa menghantar anak- anak mereka ke pusat pemulihan dadah. Saya ingin mendapatkan penjelasan daripada pihak Kementerian Dalam Negeri, berapakah peruntukan bagi pencegahan, rawatan dan pemulihan bagi negeri Sarawak bagi tahun hadapan? Apakah strategi kementerian untuk meningkatkan lagi kesedaran tentang bahaya menyalah guna di kalangan pelajar-pelajar kita?
Baru-baru ini juga dari 22 September sehingga 5 Oktober, Operasi Dadu Khas yang dilakukan oleh pihak Polis Diraja Malaysia telah menjalankan serbuan ke atas 1,785 buah lokasi aktif yang menjalankan aktiviti perjudian atas talian dan loteri awam tanpa lesen di seluruh negara. Daripada jumlah ini, 735 serbuan ke atas perjudian atas talian, serbuan tertinggi untuk judi atas talian direkodkan di negeri Sarawak dengan 151 serbuan. Implikasi ini memberikan gambaran bahawa gejala judi atas talian di Sarawak adalah yang paling tinggi di Malaysia. Lebih menakutkan lagi apabila kegiatan perjudian dalam talian ini turut didalangi oleh ahli politik dan segelintir pegawai kerajaan.
Isu ini telah sering dibangkitkan di Parlimen. Namun, sehingga ke hari ini apa yang jelas, aktiviti perjudian dalam talian semakin berleluasa. Penduduk-penduduk luar bandar termasuk belia, pelajar-pelajar dan kanak-kanak pun sudah semakin pandai berjudi atas talian. Naluri ingin tahu kanak-kanak dan pelajar-pelajar kita mendorong mereka untuk mencuba sesuatu yang baharu tanpa mengetahui kesan negatif yang bakal mereka terima akibat gejala judi dan dadah ini. Sudah tiba masanya untuk kerajaan mengambil langkah- langkah pencegahan yang lebih efektif untuk membentuk membendung gejala-gejala sosial ini.
Dato Dr. Nuing Jeluing
Setengah minit lagi.
Tuan Roderick Wong Siew Lead
Ya. Sudah penggulungan sudah. Sekian perbahasan daripada saya Dato’ Yang di-Pertua. Akhir kata, Selamat Hari Natal kepada semua warga Malaysia yang menyambutnya dan Selamat Tahun Baru 2024. Kita doakan semoga pembangunan sosioekonomi negara Malaysia akan lebih baik. Dengan ini, saya menyokong RUU Perbekalan 2024 ini. Sekian, terima kasih.
Dato Dr. Nuing Jeluing
Terima kasih, tepat.
Sekarang saya menjemput pembahas Yang Berhormat Senator Datuk Wira Koh Nai Kwong. Silakan.
Datuk Wira Koh Nai Kwong
Terima kasih Dato’ Yang di-Pertua kerana sudi memberi peluang kepada saya bersama-sama mengambil bahagian dalam Perbahasan Belanjawan 2024 yang saya kira agak komprehensif dalam usaha kerajaan untuk mencapai keseimbangan yang tepat bagi memperkukuhkan daya tahan Malaysia pada saat cabaran global yang semakin meruncing, di samping memajukan transformasi ekonomi dan meningkatkan hasil sosioekonomi untuk semua. Saya juga melihat Belanjawan 2024 merupakan menggariskan pendekatan seimbang antara perincian siling dan lantai selaras dengan Wawasan Ekonomi Madani yang dilancarkan sebelum itu yang secara tidak langsung menekankan komitmen kerajaan terhadap disiplin fiskal.
Ketelusan dan menegakkan pengurusan kewangan awam secara berhemat. Namun begitu, terdapat beberapa persoalan yang ingin saya lontar berdasarkan kepada pengamatan saya dalam perincian Belanjawan 2024. Ini merangkumi beberapa aspek yang boleh dirungkaikan oleh pihak kementerian.
Dato’ Yang di-Pertua, isu pertama iaitu isu Cukai Barangan Bernilai Tinggi (HVGT).
Saya menyambut baik cadangan perlaksanaan Cukai Barangan Bernilai Tinggi atau HVGT yang bakal bermula 1 Mei 2024 pada kadar lima hingga 10 peratus yang masih munasabah berbanding negara lain.
Kadar ini masih dianggap rendah jika dibandingkan dengan negara-negara seperti Indonesia misalnya, mengenakan cukai antara 10 hingga 95 peratus untuk barangan seperti kediaman dan kenderaan bermotor. Begitu juga negara-negara seperti China yang melakukannya pada kadar melebihi 50 peratus bagi barangan mewah seperti kosmetik, beg dan minuman keras.
Datuk Wira Koh Nai Kwong
Korea Selatan dan Chile mengenakan kadar cukai ini pada kadar 10 peratus hingga 50 peratus manakala Taiwan pada kadar 10 peratus. Dengan anggaran pengenalan cukai ini, dijangka memberi tambahan hasil sehingga RM1 bilion kepada kerajaan. Saya dapati terdapat beberapa kerunsingan dari segelintir pihak yang perlu diberi perhatian serius oleh kerajaan sebelum mengimplementasikan cukai baru ini.
Pertamanya, kita dimaklumkan bahawa cukai ini tidak akan dikenakan ke atas pelancong asing yang datang ke negara kita. Persoalan saya, berapakah peratusan pelancong asing dan pembeli domestik yang membeli barangan bernilai tinggi di negara ini?
Jika kadar cukai kita masih antara yang terendah berbanding negara lain, mengapakah tidak kita kenakan pada para pelancong asing juga? Adakah dengan pelaksanaan cukai ini juga boleh memberi kesan penggalakan terhadap rakyat Malaysia untuk terus berbelanja di luar negara berbanding negara sendiri?
Seterusnya, saya juga ingin mendapatkan penjelasan mengenai implikasi pelaksanaan cukai ini terhadap barang kemas dengan izin, jewelry yang dikatakan boleh menyebabkan kerugian besar kepada penjual dan peniaga emas tempatan apabila cukai ini akan menyebabkan ramai pengguna mencari sumber alternatif seperti dari Singapura atau melalui jualan tidak rasmi. Pengenalan cukai ini juga dijangka akan menyumbang kepada kejatuhan pendapatan sebanyak 10 peratus hingga 30 peratus bagi peniaga emas yang seterusnya akan menyebabkan pengurangan jumlah pengeluaran pada tahun 2024.
Pertanyaan saya ialah sejauh manakah kerajaan menilai pengenalan cukai ini akan memberi implikasi kepada industri seperti emas ini?
Tuan Yang di-Pertua, saya ingin menyentuh Cukai Keuntungan Modal (CGT). Begitu juga saya menyambut baik cadangan kerajaan yang akan menguatkuasakan pelaksanaan Cukai Keuntungan Modal (CGT) bagi pelupusan saham tidak tersenarai oleh syarikat tempatan berdasarkan keuntungan bersih pada kadar 10 peratus mulai 1 Mac 2024 dan juga pertimbangan terhadap pengecualian CGT ke atas pelupusan saham berkaitan aktiviti tertentu seperti tawaran awal IPU yang diluluskan.
Penstrukturan dalaman dan syarikat modal teroka tertakluk kepada syarat ditetapkan. Sememangnya CGT merupakan cukai progresif bagi menangani ketidakadilan, memandangkan kebiasaannya penerima keuntungan modal iaitu individu kaya atau syarikat yang mempunyai kapasiti kewangan memegang aset seperti itu dan pengenalan CGT ini juga merupakan landasan tepat dengan mengambil kira negara ASEAN lain juga telah pun melaksanakan CGT ini seperti Indonesia, Thailand dan Vietnam.
Namun begitu, saya ingin menarik perhatian kerajaan mengenai kebimbangan yang diutarakan oleh pakar-pakar pengecualian seperti adakah pengenalan CGT pada waktu ini merupakan langkah yang tepat memandangkan negara sedang bergelut untuk menarik lebih banyak pelaburan.
Sejauh manakah cadangan pelaksanaan CGT ini telah dirunding serta dibincangkan secara bersepadu dengan pihak-pihak berkepentingan? Saya juga ingin mendapat penjelasan daripada kerajaan mengenai kewajaran atau rasional CGT ini hanya dikenakan kepada pemain saham separuh masa yang rata-ratanya adalah PKS dan usahawan yang mungkin telah mengambil masa berpuluh tahun untuk mencapai prestasi sekarang sedangkan pemain saham sepenuh masa yang tidak menambah apa-apa nilai kepada ekonomi atau industri dikecualikan daripada sebarang cukai. Saya mohon untuk diperjelaskan mengenai perkara ini.
Tuan Yang di-Pertua, saya ingin menyentuh keterjaminan makanan. Aspek keterjaminan makanan ini kini menjadi kebimbangan baru bagi negara. Pasca pandemik COVID-19 menyaksikan kenaikan harga bekalan makanan bukan sahaja di Malaysia malahan global. Dasar kerajaan pada hari ini yang membenarkan import makanan dari negara pengeluar khususnya India, Australia, Brazil, New Zealand, Pakistan, Turki serta negara ASEAN telah mengakibatkan tahap kebergantungan negara kepada sumber bekalan import semakin tinggi dan terus menunjukkan kenaikan signifikan hampir setiap tahun.
Perkara ini disokong berdasarkan data Jabatan Perangkaan yang mana jumlah import agromakanan dan hasil pertanian terpilih Malaysia pada tahun 2022 meningkat kepada RM144.4 bilion daripada RM120.5 bilion tahun sebelumnya. Manakala import makanan terkumpul Malaysia secara keseluruhan bagi tempoh lima tahun sejak tahun 2018 hingga tahun 2022 pula berjumlah RM296.4 bilion, meningkat 31.8 peratus berbanding lima tahun sebelum iaitu pada tahun 2013 hingga tahun 2017, berjumlah RM224.9 bilion.
Walaupun kerajaan sentiasa memberi jaminan bahawa keperluan tempatan adalah mencukupi namun hakikatnya, cabaran sebenarnya yang dihadapi kerajaan bukan kepada bekalan semata-mata sebaliknya harga produk import di pasaran yang sering berdepan tekanan kenaikan berterusan.
Mendepani cabaran ini, kita berterima kasih kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri yang memperuntukkan RM400 juta disediakan bagi melaksanakan program pengukuhan keterjaminan makanan yang merangkumi kerjasama erat bersama kerajaan negeri dalam mengoptimumkan penggunaan tanah bagi meningkatkan hasil tanaman dan ternakan, penyediaan kemudahan pinjaman kepada pengusaha agromakanan dan sebagainya.
Namun demikian, saya berpandangan bagi memastikan isu keterjaminan makanan ini terus di perkasa, segala strategi dan inisiatif yang digariskan mesti dipikul bersama segala kementerian yang berkaitan dan bukan semata-mata hanya tertumpu pada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan sahaja.
Pertanyaan saya mengenai perkara ini ialah sejauh manakah usaha mengenal pasti tanah-tanah terbiar di kawasan luar bandar yang berpotensi untuk dimanfaatkan dan dimajukan menjadi tapak industri baru telah dilaksanakan bersama kerajaan negeri?
Seterusnya, berkaitan pelepasan kawalan harga sementara bagi bekalan ayam dan telur di pasaran. Saya ingin bertanyakan, apakah perincian penuh mengenai langkah konkrit lanjutan yang diumumkan menerusi pembentangan belanjawan tempoh hari?
Datuk Wira Koh Nai Kwong
Dato’ Yang di-Pertua, nampaknya masa masih izinkan. Saya ingin mengambil kesempatan untuk menyentuh isu peruntukan di Kampung Baru Cina. Kerajaan Madani telah menjamin untuk memperkasakan kehidupan rakyat yang mesra. Namun, baru-baru ini menurut seramai 12 orang Ketua-ketua Kampung Baru Cina di Daerah Muar, Johor telah memberitahu pihak media bahawa permohonan peruntukan Kampung Baru Cina untuk menaik taraf kerja infrastruktur masih belum menerima apa-apa jawapannya. Di sini saya meminta Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan memandang serius dalam perkara ini.
Dato’ Yang di-Pertua, dengan ini saya pohon menyokong. Terima kasih.
Dato' Dr. Nuing Jeluing
Terima kasih tapi kita masih ada 10 minit saja. Ertinya, tercapailah matlamat saya tadi untuk memberi peluang untuk enam orang saja, dua jam, tetapi kita ada 10 minit. Ada pembahas yang pendek-pendek?
Beberapa orang Ahli
[Bercakap tanpa menggunakan pembesar suara]
Dato' Dr. Nuing Jeluing
Memang tak ada. Ataupun nanti sudah 5.30 kita sambung lagi?
Seorang Ahli
Sambung. Sambung. 5.30 sambung.
Dato' Dr. Nuing Jeluing
So, setujukah kita bagi pihak...
Beberapa orang Ahli
[Bercakap tanpa menggunakan pembesar suara]
Dato' Dr. Nuing Jeluing
Okey, teruskan ya. Nanti sambung. Kita sekarang memanggil untuk berbahas, Yang Berhormat Senator Dato' Dr. Nelson a/l Renganathan. You still got time ya.
Dato' Dr. Nelson a/l Renganathan
Jadi saya dapat berapa minit Yang Berhormat?
Seorang Ahli
Kita bagi 20.
Dato' Dr. Nuing Jeluing
20 minit.
Dato' Dr. Nelson a/l Renganathan
20 minit? Okey, terima kasih Dato’ Yang di- Pertua. Terlebih dahulu saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan syabas kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan kerana dapat membentangkan Bajet 2024 dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu. Lebih-lebih lagi dalam keadaan kemerosotan mata wang negara. Dijangkakan pula bahawa tahun 2023 agak sukar dari sudut ekonomi dunia. Maka, negara memerlukan kepimpinan yang mampan dan kuat untuk ride the wave, dengan izin. Saya berdoa agar Yang Amat Berhormat PMX berserta pasukannya dapat membuat yang terbaik untuk negara iaitu menstabilkan Ringgit, meningkatkan FDI, menggalakkan DDI dan sebagainya.
Di sini saya ingin mengutarakan beberapa pandangan. 45 atau 46 orang rakan Senator telah memberi banyak pandangan, so kita tak nak ulang. Maka, saya akan cuba mengambil masa ini untuk value add, menambah, dengan izin.
Pertama, saya ingin mengucapkan juga jutaan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri atas peruntukan RM100 juta kepada MITRA iaitu Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia. Kalau boleh tambah sikit, ramai Yang Berhormat telah minta. Kalau dapat, saya dahului dengan ucapan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri.
Kedua, kepada Kementerian Pendidikan Malaysia. Dato’ Yang di-Pertua, saya difahamkan hampir 3,000 orang murid daripada SJKT Tamil tercicir di mana mereka tidak meneruskan pelajaran ke sekolah menengah setiap tahun. Ini kerana, pendidikan sekolah menengah masih lagi belum diwajibkan. Sekolah Tamil yang terletak di pedalaman, mungkin sekolah menengah pula terletak jauh dari tempat kediaman mereka. Maka, motivasi untuk murid-murid tersebut terlebihnya daripada golongan B40 tidak bermotivasi untuk meneruskan pelajaran dan pelajaran terjejas.
Saya cadangkan agar kerajaan membantu dengan memberi perkhidmatan pengangkutan ke sekolah bagi pelajar-pelajar yang tinggal berjauhan daripada sekolah menengah atau mewujudkan sekolah menengah berasrama untuk murid-murid tersebut supaya mereka boleh meneruskan pelajaran dalam suasana yang kondusif. Sekali lagi saya ingin mendesak KPM mempercepatkan RUU yang akan mewajibkan pendidikan sekolah menengah. Ini untuk memastikan agar pelajar sekolah rendah tidak lagi tercicir. Juga mempercepatkan penubuhan tadika di sekolah rendah seluruh negara. Ini amat diperlukan bagi keluarga muda yang memerlukan fasiliti tersebut.
[Timbalan Yang di-Pertua mempengerusikan Mesyuarat] Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Terima kasih kepada Yang Berhormat Menteri kerana cadangan saya dalam sesi Dewan yang lepas supaya menggunakan bangunan kerajaan terbiar untuk maksud menjaga warga emas kita secara sepenuh masa ataupun daycare, dengan izin, telah pun diterima. Saya difahamkan bahawa satu fasiliti kerajaan akan disiapkan bagi tujuan ini. Mudah-mudahan lebih banyak fasiliti akan diubahsuai untuk tujuan ini supaya lebih ramai warga emas daripada kumpulan B40 dapat menikmati kehidupan yang selesa pada zaman tua mereka.
Jadikanlah sistem penjagaan warga emas kita sebagai satu sistem yang terunggul di rantau ini. Untuk mencapai status penjagaan terunggul di rantau ini, saya ingin juga mencadangkan bahawa satu kategori ‘jururawat pengasuh’ diwujudkan. Kurikulum bagi tujuan tersebut saya difahamkan, sudah disediakan oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran namun tiada permintaan untuk program tersebut. Ini mungkin kerana career path, dengan izin, bagi tujuan ini tidak jelas. Percayalah jika satu kategori jururawat pengasuh boleh diwujudkan oleh kerajaan dan diiktiraf oleh Jabatan Perkhidmatan Awam, maka kerjaya tersebut akan dilihat dengan lebih jelas dan akan ada permintaan daripada anak-anak muda kita.
Ini merupakan two pronged strategy, dengan izin, iaitu sediakan kerjaya baharu untuk belia kita dan keduanya, untuk mengatasi kekurangan pengasuh warga emas di negara ini.
So ini amat mustahak untuk memastikan bahawa jururawat pengasuh ini diiktiraf.
Kepada Kementerian Perpaduan Negara pula. Minta maaf tetapi setakat ini saya belum nampak apakah peranan kementerian dalam memperkasakan perpaduan di Semenanjung Malaysia. Ini kerana saya difahamkan di Sabah dan Sarawak tidak ada problem unity ini. Mereka selalu menguar-uarkan dia punya unity. Dia orang cakap, “Kita ini tak ada problem, you orang di Semenanjung je ada problem”, tetapi kita tidak bolehlah nak minta kewarganegaraan Sarawak atau Sabah. Jadi, kita kena betulkan isu perpaduan di sini dulu, Semenanjung.
Ya, dengan segala hormatnya saya meminta Menteri Perpaduan menyatakan apakah program-program yang akan dilaksanakan bagi mengukuhkan semangat perpaduan bagi tahun 2024. Dia ada bajet- apa kah, bagaimana kah...
Timbalan Yang di-Pertua
Yang Berhormat, Yang Berhormat.
Dato' Dr. Nelson a/l Renganathan
...Bajet itu akan digunakan.
Timbalan Yang di-Pertua
Yang Berhormat, saya minta Yang Berhormat tangguhkan ucapan sampai ke jam 5.30 ya.
Dato' Dr. Nelson a/l Renganathan
Sikit lagi.
Timbalan Yang di-Pertua
Tak, kita dah nak masuk 4.30 dah. Saya terpaksa buat pemasyhuran ni.
Dato' Dr. Nelson a/l Renganathan
Okey. Boleh, boleh, boleh. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua
Setiausaha.
Timbalan Yang di-Pertua
Ahli-ahli Yang Berhormat, merujuk kepada peruntukan Peraturan Mesyuarat 11(5) Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Negara, saya hendak menetapkan bahawa Majlis Dewan Negara hari ini tidak akan ditangguhkan sehingga selesai kesemua Ahli yang nak berbahas ke atas D.R.31/2023 Rang Undang-undang Perbekalan 2024 seperti yang tertera di No. 1 dalam Aturan Urusan Mesyuarat hari ini dan selepas itu Majlis Mesyuarat akan ditangguhkan sehingga jam 10 pagi, hari Khamis, 7 Disember 2023.
Setiausaha, silakan.
Timbalan Yang di-Pertua
Ahli-ahli Yang Berhormat, seperti yang telah diputuskan pada pagi tadi satu Usul di bawah Peraturan Mesyuarat 17(1) telah dibenarkan untuk berbahas. Saya membenarkan pihak pencadang membahaskan selama 10 minit dan diikuti dengan perbahasan daripada Ahli-ahli yang lain mengikut kesesuaian masa yang ada dan selepas itu saya akan meminta pihak kerajaan untuk menjawab.
Saya ingin maklumkan kepada Yang Berhormat tolong ikut masa kerana Usul ini hanya ada masa dari 4.30 hingga ke 5.30 petang masa yang telah diperuntukkan. Selepas itu kita sambung semula dengan perbahasan.
Jadi, dengan ini saya mohon Yang Berhormat Senator Tuan Haji Hussin bin Ismail untuk kemukakan Usul, 10 minit ya.
Tuan Haji Hussin bin Ismail
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih, Tuan Yang di-Pertua. Izinkan saya membaca bait-bait kalamullah untuk kita renungkan bersama...
[Membaca sepotong ayat al-Quran] dan satu lagi dalam Surah Hud, ayat 113...
[Membaca sepotong ayat Al-Quran] “Dan jangan kamu cenderung kepada orang- orang yang melakukan kezaliman nanti kamu akan disambar oleh api neraka Allah”. Tuan Yang di-Pertua, saya tidak ingin untuk memanjang dan saya ingin memasukkan ucapan dan juga perbahasan saya, ungkapan perbahasan saya dan isu Palestin data dan fakta itu sebagai sebahagian daripada hujah kepada Usul yang dibentangkan ini. Cuma saya juga ingin sambung satu dua perkara, kenapakah kita perlu mengadakan Usul ini? Usul ini untuk memberikan kekuatan, keputusan dan dokongan oleh Dewan Negara berhubung dengan isu kezaliman Israel terhadap rakyat Palestin melampaui batas agama. Bicara tentang rentas kauman agama tetapi ini lebih lagi kepada isu kemanusiaan dan hak asasi manusia yang dicabul tanpa batas.
Dengan Usul yang bakal kita bincang dan bakal diluluskan insya-Allah secara bersepadu oleh atau keseluruhannya oleh Ahli Dewan Negara, mudah-mudahan bakal memberikan kekuatan kepada pimpinan kita, Perdana Menteri, Menteri Luar dan negotiator- negotiator negara yang bijaksana supaya mereka lebih dapat kekuatan kerana bicara mereka di arena antarabangsa bagi membincangkan isu ini di dokong penuh oleh Dewan Negara Malaysia mahupun insya-Allah mewakili rakyat Malaysia seluruhnya.
Tuan-tuan kenapa ini kita bawa? Mudah-mudahan insya-Allah isu Palestin ini yang akan dibicarakan oleh pemimpin kita mewakili negara bakal nantinya akan dapat menghentikan perang antara Israel dengan Palestin ataupun dengan kata lain ditamatkan.
Kedua, supaya orang-orang atau nyawa orang-orang yang tidak berdosa dapat diselamatkan.
Ketiga, penjenayah perang Israel diseret ke Tribunal Perang Antarabangsa untuk dihakimkan.
Keempat, negara-negara kuasa veto tidak berlaku double standard lebih mementingkan kepentingan perniagaan persenjataan mereka dan yang akhirnya yang kelima, Palestin dapat dimerdekakan.
Dengan itu, saya sekali lagi mengusulkan supaya Usul tergempar Palestin yang saya bentangkan pada pagi tadi supaya dapat dibahaskan dan diterima. Terima kasih, Tuan Yang di-Pertua...
[Tepuk]
Timbalan Yang di-Pertua
Terima kasih, Yang Berhormat. Satu Usul yang amat baik dan juga tepat pada masa. Straight to the point.
Jadi, seterusnya di hadapan saya ada seramai sembilan orang Ahli yang hendak berbahas untuk menyokong Usul ini. Maka, saya tetapkan masa untuk lima minit seorang dan saya berharap Yang Berhormat akan patuh kepada masa yang ditetapkan. Kita hanya ada satu jam sahaja untuk menyelesaikan Usul ini. Jadi, straight to the point ia lebih senang begitu.
Dengan ini, saya menjemput Yang Berhormat Senator Datuk Dr. Azhar bin Ahmad untuk berbahas.
Datuk Dr. Azhar bin Ahmad
Assalamualaikum. Salam Malaysia Madani. Tan Sri Yang di-Pertua, terima kasih kerana membenarkan saya mengambil bahagian dalam membahaskan Usul tergempar pada petang ini. Penjarahan Rejim Zionis ini telah melangkaui adat dan susila. Bukan setakat membunuh orang Islam bahkan rejim ini juga membunuh semua manusia termasuk orang Kristian, Ortodoks Kristian, orang Islam.
Mengikut pandangan mendiang Profesor Edward Said, Politics of Dispossession.
Pembunuhan berlaku secara yang sangat zalim yang dilakukan oleh Rejim Zionis terhadap Palestin- tahun 1947, PBB melalui seksyen 118 telah mengisytiharkan kemerdekaan sebuah negara Palestin yang berdaulat tetapi itu tidak dipedulikan oleh rejim Israel.
Hari ini kita membuat ketetapan, Dewan ini membuat ketetapan memberi sokongan yang padu kepada kerajaan kita bagi mendesak PBB, OIC, dan semua negara yang bersependapat dengan kita supaya kemerdekaan secara mutlak itu harus diberikan kepada negara Palestin. Peranan Malaysia tidak boleh disangkal lagi daripada mula dua bulan dahulu Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat Timbalan Perdana Menteri, Yang Berhormat Menteri Luar kita tidak putus-putus untuk mengatakan yang hak dari yang batil.
Yang Amat Berhormat Perdana Menteri contohnya dalam pertemuan di APEC bercakap secara langsung di depan pemimpin-pemimpin dunia bahawa kezaliman Zionis ini patut dihentikan serta-merta di depan pemimpin Amerika. Ini menandakan Malaysia yang diwakili oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri memang bersungguh-sungguh sebulat suara kita memberi sokongan padu kepada kerajaan kita, kepada Kementerian Luar kita, kepada Menteri Luar kita, kepada Timbalan Menteri Luar kita agar usaha-usaha ini diteruskan sehingga sampai kepada satu noktah Palestin merdeka...
[Tepuk] Itu noktah yang terakhir.
Datuk Yang di-Pertua, 2014, 2015 saya telah ditakdirkan oleh Allah SWT dapat bertemu dengan pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh di PLA. Apa beliau berkata kepada saya, “We don’t want food”. Kita tidak mahu lagi makanan, kita tidak mahu lagi sokongan-sokongan seperti ini, yang kami mahu ialah kami mahu weapon untuk kami syahid bagi mempertahankan bumi Palestin ini...
[Tepuk] Kepada saya dan ada tiga rombongan daripada Kerajaan Negeri Perak ketika itu.
Maka hari ini, Ahli Dewan Negara yang bersidang hari ini kita menyeru kepada semua Ahli Parlimen, semua rakyat kita, semua kepimpinan kita agar memberi sokongan yang padu, yang tidak berbelah bahagi kepada Kerajaan Malaysia untuk membawa Usul ini bagi mempertahankan bumi Gaza dan akhirnya, Gaza diberi kemerdekaan yang mutlak. Saya mohon menyokong. Terima kasih...
[Tepuk]
Timbalan Yang di-Pertua
Terima kasih Datuk Azhar. Sekarang ini saya jemput Yang Berhormat Senator Dr. Hajah Wan Martina binti Wan Yusoff.
Dr. Hajah Wan Martina binti Wan Yusoff
*Bismillahi Rahmani Rahim.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh*. Pada saat kita berbicara di dalam Dewan yang serba indah ini...
[Menahan sebak]
Dr. Hajah Wan Martina binti Wan Yusoff
Bagi menyatakan sokongan kepada Palestin dan mengecam Israel.... [Menahan sebak] Hari ini sudah lebih 16,000 orang rakyat Palestin yang telah syahid, lebih 45,000 telah cedera dan bumi Gaza telah ranap musnah dan bermandikan darah. Bangunan, kediaman dan rumah ibadat telah hancur menjadi debu dihentam oleh rejim haram Zionis Israel. Yang lebih menyayat hati apabila hospital-hospital juga dibom tanpa rasa belas kasihan. Lebih memilukan dan menyedihkan apabila kanak-kanak, wanita dan orang tua menjadi sasaran bedilan dan bom Israel dengan kejam dan melampau.
Tuan Yang di-Pertua, isu Palestin ini telah melangkaui agama, warna kulit, dan juga geopolitik. Zionis-Israel tidak pernah peduli apa agama kamu sama ada Islam, Kristian atau apa sahaja agama pun. Ini bukti jelas mereka sedang melakukan jenayah kemanusiaan secara besar-besaran.
Serangan kejam Israel ini telah merupakan satu jenayah perang bertentangan dengan undang-undang antarabangsa yang sewajarnya dikecam oleh dunia. Israel telah melanggar 28 Resolusi, Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu dan pelbagai undang- undang antarabangsa secara konsisten. Israel telah membuat penempatan haram dan terlibat dalam jenayah perang penghapusan etnik dan melanggar Geneva Convention 1949.
Israel juga telah mengamalkan Dasar Aparteid menyalahi International Convention on the Suppression and Punishment of the Crime of Apartheid 1976.
Tuan Yang di-Pertua, satu kajian telah dijalankan oleh International Court of Justice dan organisasi hak asasi manusia antarabangsa mendapati bahawa Israel telah mencabul hak asasi manusia secara konsisten termasuk penyeksaan, penangkapan tanpa bicara, rampasan tanah, penempatan haram dan sebagainya.
Bahkan pada tahun 2004, International Court of Justice telah memutuskan bahawa tembok pemisah Israel adalah haram.
Justeru itu Dewan ini sewajarnya mendesak Yang Amat Berhormat Perdana Menteri mewakili Malaysia untuk menerajui usaha untuk dunia antarabangsa mengambil tindakan tegas atas jenayah perang dan kemanusiaan supaya kekejaman Israel ini dibawa ke muka pengadilan di Mahkamah Jenayah Antarabangsa dan menggesa Israel supaya menghentikan serangan, mengisytiharkan kemenangan rakyat Palestin dan membayar setiap kerosakan harta benda dan kerugian yang ditanggung oleh rakyat Palestin. Dengan itu saya mohon menyokong, sekian terima kasih...
[Tepuk]
Timbalan Yang di-Pertua
Terima kasih Dr. Wan Martina.
Sekarang saya jemput Yang Berhormat Senator Datuk Dr. Awang bin Sariyan.
Datuk Seri Prof. Emeritus Dr. Awang bin Sariyan
Terima kasih Tuan Yang di- Pertua. Untuk mengawal waktu perbahasan, saya mohon izin menyampaikan perbahasan saya dalam bentuk puisi.
*Usah kita sekadar menangis, Kisah derita, kisah sengsara, kisah nestapa, Kisah duka, kisah zalim, kisah pembunuhan Jiwa tidak berdosa.
Kisah penganiayaan jasad tidak berupaya, Dan kisah segala kejelikan di bumi warisan Anbia.
Wadah tersebarnya dan mekarnya risalah yang asal, Tempat munculnya peribadi-peribadi luhur berakhlak terpuji, Tabiin, para mujahid, para mustaid, para ulama dan para syuhada.
Bukanlah kisah semalam, Bukanlah kisah tahun silam, Bukan jua kisah sedasawarsa silam.
Lebih tujuh dasawarsa telah larut penzaliman, Meleburkan nilai manusiawi, Memusnahkan martabat insani di tangan kotor Zionis penderhaka Ilahi.
Cukupkah dengan sekadar tangisan, Cukupkah dengan sekadar rintihan, Cukupkah dengan sekadar jeritan, Cukupkah dengan sekadar nistaan.
Ayuh dengan akal berencana, Ayuh dengan kudrat yang ada, Kita gempur sekalian anasir Zionis pembawa petaka, Yang melata di segenap pelosok buana, Hatta yang berselimut sesama kita, Yang dalam terang laksana seteru nyata, Namun dalam gelap bersekutu adanya.
Infakkan tenaga, Infakkan harta, Infakkan bicara, Infakkan akal bitara, Merancang strategi tekal atas landasan umat sejagat, Atas landasan amanah terpahat, Mengembalikan hak dan martabat saudara kita yang kehilangan tempat.
Ayuh, usah kita sekadar menangis, Mulakan langkah penyatuan sesama kita dan pendukung kemanusiaan sekaliannya.* Saya mohon menyokong.
Timbalan Yang di-Pertua
Terima kasih Profesor*...
[Tepuk]* Sekarang saya minta YB Senator Datuk Seri Hajah Zurainah binti Musa.
Datuk Seri Hajah Zurainah binti Musa
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terlebih dahulu saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada YB Tan Sri Yang di-Pertua dan Yang Berhormat Senator Tuan Haji Hussin bin Ismail kerana membangkitkan isu berkaitan kekejaman rejim Zionis-Israel dan peperangan di Palestin dalam Dewan yang mulia ini.
Ada mungkin sesetengah pihak bertanya mengapa perlu untuk Malaysia bersuara?
Ia hanya negara kecil dalam persada antarabangsa dan ia bergantung kepada pelaburan dan perdagangan antara negara. Patutkah kita bersuara? Bukan Malaysia sahaja, tetapi semua negara harus sebulat suara mengutuk dan mengecam jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan atas beberapa sebab.
Satu prinsip kemanusiaan. Pengecaman tindakan ini mencerminkan komitmen untuk memelihara martabat manusia dan mengurangkan penderitaan dalam konflik bersenjata.
Undang-undang antarabangsa pengecaman ini menegakkan rangka kerja undang-undang antarabangsa seperti Perjanjian Geneva dan Statut Rom, memperkuatkan kepentingan akuantabliti kerajaan-kerajaan, perlindungan hak asasi manusia, pengutukan selaras dengan komitmen meluas untuk melindungi hak asasi manusia menunjukkan dedikasi kami terhadap pemeliharaan hak dan martabat semua individu tanggungjawab moral.
Selain pertimbangan undang-undang dan politik, pengecaman jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan merupakan ungkapan tanggungjawab moral. Ia mencerminkan pengakuan kolektif bahawa sesetengah tindakan adalah salah dan tidak dapat diterima di persada global.
Tuan Yang di-Pertua, saya sendiri telah membangkitkan isu ini sewaktu mengetuai delegasi Parlimen di Perhimpunan Kesatuan Antara Parlimen (IPU) yang berlangsung di Anggola Oktober yang lalu. Saya berasa marah dan kecewa apabila konflik ini bukan sahaja masih tidak reda, malah bertambahan lagi parah bagi rakyat Palestin. Bayangkan dua juta orang rakyat Palestin di Gaza kini sedang melalui collective punishment, dengan izin ,dengan pelepasan bom berterusan.
Sehingga kini antara 16,000 hingga 20,000 orang rakyat Palestin telah dibunuh dalam peperangan semenjak 7 Oktober 2023 di mana majoritinya merupakan anak-anak dan wanita. Laporan terkini yang diuar-uarkan menyatakan pembunuhan terus berlaku walaupun terdapat gencatan senjata yang telah dipersetujui. Pihak media dan anggota perubatan juga tidak terkecuali dalam pembunuhan ini. Di manakah perikemanusiaan pihak kerajaan Israel dan negara-negara yang terus membisu diri dan membuta mata terhadap tindakan Israel?
Konflik ini berlaku kerana penjajahan berterusan oleh Israel ke atas tanah Palestin yang melebihi 70 tahun. Berdirinya saya di sini bukan untuk mencetuskan kebencian terhadap mereka, tetapi seruan ini merupakan seruan bersama Senator-senator dalam menyeru kepada keadilan hak asasi manusia dan kebebasan bagi rakyat Palestin. Kita perlu bersatu dalam mendesak pematuhan undang-undang antarabangsa serta penyokong menyokong penubuhan negara Palestin yang merdeka...
[Tepuk] Tuan Yang di-Pertua, ini bukan hal isu agama, tetapi isu perikemanusiaan dan pematuhan undang-undang antarabangsa. Sekarang masa untuk kita bersuara dengan lebih lantang demi keadilan rakyat Palestin. Saya dengan ini ingin bertanya kepada kerajaan Malaysia yang senantiasa konsisten dan jelas berkaitan dengan konflik Israel dan Palestin.
Datuk Seri Hajah Zurainah binti Musa
Bolehkah Malaysia mengambil langkah untuk mendokumentasikan secara terperinci setiap pelanggaran undang-undang antarabangsa dan perlakuan jenayah perang yang sedang berlaku di Palestin masa ini? Ini termasuk jenayah genocide dan collective punishment terhadap rakyat Palestin.
Kedua, bolehkah kita membantu- adakah bajet yang diperuntukkan untuk membantu pihak Palestin dan juga untuk memastikan kegiatan Israel ini tidak terlepas daripada tindakan undang-undang pihak antarabangsa?
Ketiga, bolehkah Malaysia mengkaji semula kebenaran untuk membenarkan orang- orang pelarian, dengan izin, refugees untuk bekerja dan mendapat peluang pendidikan di Malaysia?
Sampai di sini sahaja perbahasan saya dengan izin Datuk Yang di-Pertua. From the river to the sea, Palestine will be free. Dengan ini saya menyokong Usul ini.
Assalamualaikum...
[Tepuk]
Timbalan Yang di-Pertua
Terima kasih YB.
Sekarang ini saya jemput YB Senator Tuan Musoddak bin Ahmad.
Tuan Musoddak bin Ahmad
Bismillahi Rahmani Rahim... [Membaca sepotong ayat Al-Quran] Terima kasih Datuk Yang di-Pertua. Kekejaman, kezaliman dan keganasan tentera Rejim Zionis membelasah orang awam di bumi Gaza sudah memasuki episod baharu.
Hanya dalam beberapa jam selepas tempoh gencatan senjata sekali lagi sebuah hospital di Khan Younis dibedil oleh bom. Kini, kira-kira 70 peratus hospital di Semenanjung Gaza terpaksa menghentikan operasi setelah kempen pengeboman Rejim Zionis berlarutan selama hampir dua bulan. Jumlah korban rakyat Palestin pula terus meningkat kepada 16,200 orang.
Selepas daripada gencatan senjata api Hamas di Semenanjung Gaza hari ini memaklumkan seramai 240 orang terbunuh di Wilayah Palestin sejak pemberhentian perang sementara tamat semalam. Selain itu, 650 lagi cedera dalam ratusan serangan udara dan pengeboman tentera laut di pelbagai lokasi di Semenanjung Gaza.
Datuk Seri Yang di-Pertua, kita masih tidak boleh melupakan peristiwa pengeboman Hospital al-Ahli di Gaza dan beberapa buah hospital di Gaza yang lain dan angka-angka korban telah mencecah lebih 500 nyawa dalam satu-satu masa. Alasan yang digunakan Rejim Zionis ialah Hamas menggunakan pertahanan daripada orang awam. Itu tidak masuk akal, tetapi negara yang menyokong Israel hari ini dipaksa menerima alasan mentah sedemikian bulat-bulat.
Tidakkah mereka boleh berfikir secara waras bahawa tindakan Rejim Zionis telah banyak melanggar batas kemanusiaan sejak tujuh dekad kebelakangan ini? Tidakkah mereka boleh berfikir bahawa rejim Zionis harus dihukum atas kezaliman yang dilakukan? Tidakkah mereka boleh berfikir bahawa ini bukan suatu peperangan Israel-Hamas, tetapi satu genocide moden ini.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia juga telah menggesa tindakan segera untuk membolehkan sistem kesihatan di Gaza yang terjejas teruk akibat kempen pengeboman rejim Zionis. Mereka memberi amaran lebih banyak kematian akibat penyakit bakal berlaku di wilayah terkepung itu jika sistem penjagaan kesihatan dan sanitasi gagal dipulihkan.
Datuk Yang di-Pertua, lebih malang lagi dunia ibarat sudah berhenti bercakap soal Palestin. OIC kembali menjadi “Oh I see”. Dunia Arab sebahagiannya membisu bercakap tentang Palestin. Siapakah yang harus bertanggungjawab jika kita juga mengambil sikap yang sama?
Datuk Yang di-Pertua, saya ingin mencadangkan yang pertama supaya Malaysia kembali mengambil langkah agresif terhadap Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dalam menghentikan kekejaman Israel terhadap rakyat Palestin. Opsyen-opsyen baharu yang lebih agresif seperti meletakkan tentera pengaman bagi memastikan sebarang kekerasan yang dihalakan ke atas masyarakat awam dapat dihentikan dalam masa yang segera perlu dipertimbangkan ketika ini memandangkan suasana yang semakin genting.
Kedua, Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu perlu membuat ketetapan agar Israel menghentikan serta-merta serangan ketenteraan ke atas rakyat Palestin melalui gencatan senjata dan memperakui bahawa tindakan rejim Zionis merupakan perbuatan jenayah Zionis Israel patut diheret ke muka pengadilan dunia.
Kedua, kita perlu memberikan kesedaran kepada rakyat untuk menghayati perjuangan rakyat Palestin. Siaran-siaran TV milik kerajaan harus digerakkan untuk tujuan ini. Kurangkanlah program hiburan yang keterlaluan dan melampaui batas. Ini peranan kita semua untuk bertindak dan menjadi agen penyampai kepada rakyat di bawah.
Ketiga, saya meneliti suatu pendekatan jangka masa panjang yang boleh diambil Kementerian Pendidikan supaya diadakan suatu syllabus pendidikan berkenaan Palestin. Ini supaya anak-anak kita difahamkan dengan isu Palestin dan dijadikan salah satu daripada cabang syllabus di sekolah.
Keempat, aktiviti dan kempen-kempen boikot dan sekatan terhadap produk-produk berkaitan dengan Israel harus diteruskan. Kempen ini harus kembali diuarkan kepada rakyat dan tidak seharusnya dihentikan.
Kelima, saya juga ingin menyarankan pada Wisma Putra supaya rundingan yang berterusan dengan Kerajaan Mesir dapat diteruskan bagi membuka had dan sokongan kemanusiaan di sempadan Rafah.
Timbalan Yang di-Pertua
YB.
Tuan Musoddak bin Ahmad
Ini juga penting untuk memberikan sokongan pasca serangan Rejim Zionis yang telah memusnahkan sebahagian besar fasiliti awam di Gaza.
Timbalan Yang di-Pertua
YB habis.
Tuan Musoddak bin Ahmad
Sekian, terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua
Terima kasih. Sekarang ini saya jemput YB Senator Tan Sri Haji Mohamad Fatmi bin Haji Che Salleh.
Tan Sri Haji Mohamad Fatmi bin Haji Che Salleh
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam sejahtera Yang Berhormat Datuk Seri Yang di-Pertua.
Saya terkenang daripada tengok movie dan juga filem tentang Holocaust. Holocaust yang berlaku dalam tahun awal 40an dahulu. Begitu zalim kita katanya. Apabila ramai kaum Yahudi ataupun Israel yang dikorbankan, dibunuh secara berleluasa, tetapi hari ini kita melihat apa yang berlaku dengan Palestin, apa yang berlaku yang dilakukan oleh kaum Israel itu sendiri pula, Zionis Israel yang buat itu.
Kita juga pernah melihat dalam tahun 70an di Cambodia iaitu semasa Khmer Rouge memerintah Cambodia, juga berlaku genocide, juga berlaku pembunuhan beramai-ramai rakyat Cambodia itu sendiri di atas untuk mendoktrinkan rakyat mereka menyokong parti Khmer Rouge itu sendiri. Oleh sebab itu kita rasa ini amat dahsyat sekali. Amat zalim dan amat dahsyat, tetapi hari ini kita melihat kezaliman yang berlaku di Palestin yang berlaku yang dilakukan oleh rejim Zionis ini jauh lebih dahsyat daripada Holocaust dan juga daripada apa yang berlaku di Cambodia...
[Tepuk] Kuasa besar menutup mata, menutup telinga. Maka, tergantung terpulang kepada kita antara negara-negara lain untuk mendesak PBB dan juga lain-lain negara besar untuk selesaikan masalah-masalah Palestin dengan Israel ini. Solution nya ataupun solusinya hanyalah satu iaitu mewujudkan negara Palestin merdeka dengan East Juruselam sebagai capital city.
Ini sudah ada Resolusi PBB dalam tahun 1947 lagi. Maka, kita perlu mendesak sekuat-kuatnya untuk dilaksanakan resolusi ini untuk menubuhkan sebuah negara merdeka yang berdaulat yang dinamakan Palestin. Ini yang penting. Ini dilakukan semuanya akan selesai. Soal sedikit sebanyak titik bengik itu boleh diselesaikan dengan mudah kerana pokok pangkalnya tanah Palestin itu mesti dikembalikan kepada rakyat Palestin...
[Tepuk] Datuk Yang di-Pertua, saya menyokong usul ini. Saya juga mengajak rakan-rakan Ahli Yang Berhormat Senator untuk kita terus menyokong kerajaan kita yang begitu lantang bersuara di pentas dunia oleh Perdana Menteri sendiri dan juga Menteri Luar kita. Kita mesti teruskan sokongan kita ini. Kita mohon, kita minta kerajaan kita, pemimpin kita terutamanya Perdana Menteri dan Menteri Luar terus lantang, terus bersuara di pentas dunia. Selagi Palestin tidak merdeka, kita mesti terus berjuang perkara ini.
Kita juga menyokong untuk kecam seberat-beratnya tindakan rejim Zionis ini, kekejaman kepada Palestin ini. Kita juga setuju dan menyokong kerajaan yang kita tidak berganjak daripada pendirian yang telah dinyatakan ini.
Jadi, Dato' Seri Yang di-Pertua, masa ada satu minit lagi. Saya bagi peluang pada orang lain. Saya menyokong penuh Usul yang dicadangkan ini dan saya berharap from the river to the sea, Palestine will be free. Terima kasih. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Timbalan Yang di-Pertua
Terima kasih YB.
Sekarang saya jemput Yang Berhormat Senator Tun Nik Mohamad Abduh bin Nik Abdul Aziz.
Tuan Nik Mohamad Abduh bin Nik Abdul Aziz
Terima kasih Datuk Yang di- Pertua...
[Membaca sepotong ayat Al-Quran] Saya dengan ini menyokong Usul Dewan yang mulia ini untuk mendesak Kerajaan Malaysia menyatakan sokongan dan solidariti tidak berbelah bahagi kepada rakyat Palestin dan mempertahankan hak dan kedaulatan negara mereka sekali gus mengecam dan mengutuk rejim Zionis-Israel sebagai pengamal dasar aparteid, kekejaman dan penjarahan ke atas tanah dan negara Palestin.
Perang rejim Zionis ke atas rakyat Palestin yang telah berlangsung sejak dua bulan lepas telah menyebabkan isu kemanusiaan yang dahsyat dan tidak mampu ditanggung oleh umat manusia di seluruh dunia pada hari ini. Di mana, angka kematian orang awam telah pun mencecah lebih 16,000 orang dengan lebih separuh mangsa iaitu para wanita dan kanak- kanak yang tidak berdosa yang langsung tidak terlibat dengan peperangan ini.
Amat nyata jenayah perang yang telah dilakukan oleh rejim Zionis dalam perang ini, ia adalah demi memenuhi kehendak dan nafsu rakus rejim Zionis yang mahu terus mengukuhkan cengkaman penjajahan mereka ke atas bumi Palestin.
Selain sokongan dan solidariti tidak berbelah bahagi oleh kerajaan, kerajaan mestilah kekal berada di barisan hadapan bersama negara-negara Islam bersaudara yang lain bagi menjamin dan memastikan bumi Palestin khususnya wilayah Gaza dapat dibangunkan semula dan kembali aman sebagaimana sebelum perang. Sokongan solidariti ini pastinya dapat memulihkan semangat dan mengubati luka-luka saudara-saudara kita di bumi Palestin.
Saya juga memohon kerajaan Malaysia untuk mengambil inisiatif awal atau terus mengepalai penubuhan unit pemantauan undang-undang di peringkat negara OIC untuk mendokumentasikan bukti jenayah perang dan jenayah kemanusiaan rejim Zionis Israel seterusnya menyerahkannya pada Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) untuk tindakan segera. Ini memandangkan di kalangan negara-negara OIC sudah ada NGO di Malaysia yang telah terkedepan- memfailkan petisyen jenayah perang dan jenayah kemanusiaan ke peringkat ICC. Pengalaman dan kepakaran pasukan guaman Yayasan MyAQSA ini boleh dijadikan panduan awal kerajaan Malaysia untuk mengambil inisiatif ini.
Pendakwa raya ICC iaitu Sir Karim Khan melalui satu kenyataan rasmi pada 30 Oktober lalu telah mengalu-alukan penglibatan semua pihak termasuk negara-negara bukan ahli kepada Statut Rom untuk turut sama menyerahkan laporan dan bukti jenayah kepada pihak mereka. Jadi, walaupun negara kita bukan ahli kepada Statut Rom, ia bukan lah alasan untuk tidak menyumbang sesuatu dalam usaha untuk mengheret rejim Zionis-Isreal ini ke muka pengadilan antarabangsa.
Saya juga memohon kerajaan Malaysia memainkan peranan yang lebih aktif dan berkesan sebagai anggota kepada Majlis Hak Asasi Manusia PBB (UNHCR). Satu resolusi perlu dikeluarkan segera oleh pihak UNHCR untuk mengutuk pencabulan hak asasi yang paling teruk dalam sejarah dunia moden yang telah dilakukan oleh rejim aparteid Zionis Israel.
Pencabulan ini termasuklah menyerang kakitangan perubatan dan orang awam, menghalang pemindahan perubatan kecemasan, menyekat penjagaan kesihatan untuk penduduk awam, menghalang pesakit kritikal untuk dirujuk keluar dari Semenanjung Gaza untuk mendapatkan rawatan yang lebih sempurna dan menyekat pengagihan bekalan perubatan dan makanan.
Dengan ini Tuan Yang di-Pertua, saya tanpa berbelah bahagi menyokong Usul solidariti Palestin dan kutukan terhadap rejim Zionis. Terima kasih...
[Tepuk]
Timbalan Yang di-Pertua
Terima kasih YB.
Sekarang saya jemput YB Senator Datuk Seri Dr. Mujahid bin Yusof.
Datuk Seri Dr. Mujahid bin Yusof
Terima kasih Tuan Speaker dan terima kasih kepada Senator yang telah membawa Usul, bagi kita merakamkan dalam Dewan yang mulia ini bahawa semua kita tanpa berbelah bahagi tanpa mengira mana-mana latar belakang kaum, parti politik ataupun kefahaman agama bahawa kita- semua di dalam Dewan ini menyokong Usul ini sebulat hati dan sebulat suara, insya-Allah. Tuan Yang di-Pertua, isu Palestin ini sering kali dimainkan isunya oleh Barat.
Kononnya ia berlaku pada 7 Oktober, serangan Hamas ke sempadan Israel. Walhal hakikat sebenarnya, isu Palestin ini telah bermula sejak- daripada peristiwa Nakba pada tahun 1948.
Bayangkan 75 tahun Palestin dijajah dan dijarah. Dibunuh dan mereka menganggap orang- orang Palestin seperti anjing-anjing yang boleh dibunuh dan diseksa.
Oleh itu, pada hari ini kita rakamkan bahawa penderitaan Palestin bukan bermula hanya 7 Oktober tetapi ia telah pun menjadi satu catastrophe sepanjang 75 tahun. Di mana, dunia menjadi sepi dan bisu ke atas penderitaan Palestin.
Seterusnya, Tuan Yang di-Pertua, saya menuntut dari Dewan yang mulia ini kepada
Menteri Luar Negara untuk membawa hasrat Ahli-ahli Dewan
(i) menuntut supaya Israel diheret kepada ICJ untuk mendakwa Israel di atas genosid yang paling terburuk dalam abad ini;
(iii) menuntut seluruh dunia memboikot mana-mana entiti yang ada kaitan dengan rejim Zionis Israel;
(iv) menuntut supaya apa sahaja syarat perundingan bagi menyelesaikan konflik ini hendaklah kembali kepada Resolusi Bangsa-Bangsa Bersatu tahun 1967 yang dikenali sebagai Resolusi 242. Di mana, resolusi itu ialah land for peace untuk dibincangkan sebagai syarat perundingan; dan
(v) saya ingin ingatkan kepada Bani Israel yang Allah telah memberikan ingatan kepada mereka dalam Surah Al-Ma’idah, Ayat-32...
[Membaca sepotong surah] iaitu Allah berfirman, *“Dengan sebab itu Kami telah tetapkan ke atas Bani Israel. Barang siapa yang membunuh satu nyawa dan melakukan fasakh di atas muka bumi.
Maka, seolah-olah mereka telah membunuh seluruh nyawa manusia di atas muka bumi ini.”* Maka, kami bagi pihak kemanusiaan bahawa- pembunuhan dan kerosakan yang dilakukan di Israel bukan sahaja membunuh anak-anak Palestin, orang-orang tua dan wanita- wanita, tetapi ia telah membunuh semua kita di dalam Dewan ini. Tanpa kita menyatakan suara kita, maka anggaplah diri kita- semua mati. Tidak ada nilainya di sisi kemanusiaan.
Dengan itu, saya menyokong 100 peratus Usul ini. Sekian, terima kasih Tuan Speaker...
[Tepuk]
Timbalan Yang di-Pertua
Dengan ini saya menjemput pembahas kita yang terakhir iaitu YB Datuk Razali.
Datuk Razali bin Idris
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Saya sebagai Ahli Dewan Negara memang mengutuk sekeras-kerasnya kezaliman Yahudi Zionis di negara haram Israel.
Terlebih dahulu saya mengucapkan terima kasih pada Yang Berhormat Senator Dato’ Hussin dan Yang Berhormat Tan Sri Speaker kerana memberi, meluluskan Usul ini untuk kita bahas.
Selaku Dewan Tertinggi dan Institusi Keparlimenan iaitu Dewan Negara merupakan The Upper House, dengan izin. Saya merasakan sama dengan rakan-rakan lain yang di Dewan yang mulia ini adalah selari dan sejiwa dengan kerajaan kita Malaysia dan berharap supaya kerajaan kita juga memanggil satu persidangan khas dengan mengeluarkan Usul mengutuk sekeras-kerasnya kezaliman tentera Israel dan Perdana Menteri negara haram Benjamin Netanyahu.
Datuk Razali bin Idris
Malaysia sebenarnya Datuk Speaker, perlu lebih jelas dan kuat daripada segi pendirian yang perlu melalui satu Usul yang datang mesti daripada Parlimen ini sendiri. Mesti datang daripada sokongan padu Ahli Dewan Negara dan juga Ahli Dewan Rakyat. Bukan sekadar notis bantahan, suara-suara lantang sekadar mengutuk dan memberi amaran, laungan yang membara, himpunan sana sini, jumpa sana sini, telefon sana sini, tetapi mesti satu suara yang kolektif dan solid, dengan izin.
Dengan itu saya menyokong sepenuhnya Usul ini. Terima kasih Datuk Speaker...
[Tepuk]
Timbalan Yang di-Pertua
Terima kasih.
Datuk Wira Dr. Mohd Hatta bin Md Ramli
Boleh?
Timbalan Yang di-Pertua
Memandangkan kita ada masa lagi, saya boleh menjemputlah Yang Berhormat Hatta untuk berbahas. Pendek ya. YB.
Datuk Wira Dr. Mohd Hatta bin Md Ramli
Terima kasih. Pendek sahaja.
Timbalan Yang di-Pertua
[Ketawa]
Datuk Wira Dr. Mohd Hatta bin Md Ramli
Assalamualaikum warahmatullah. Datuk Yang di-Pertua, terima kasih kerana memberi peluang walaupun sudah selesai giliran ya.
Bagaimanakah kita boleh senyum? Makan berselera tadi ya. Ketawa berdekah- dekah, tidur lena, sedang di sana mereka meneka-neka, apakah dia akan masih ada esok atau lusa. Di manakah bumi untuk mereka berpijak? Tanahnya, batunya panas. Airnya menggelegak. Peluru berterbangan meratah tubuh-tubuh mentah anak-anak dan wanita. Di manakah dia mahu bernaung? Rumah sudah tiada, masjid ranap, hospital hancur, begitu keadaan mereka di sana.
Apabila kita menyuarakan pandangan melalui Perdana Menteri kita di sidang APEC di depan pemimpin terbesar dunia Amerika Syarikat, itu telah membuka mata manusia seluruh dunia. Tak berapa lama kemudian, Naib Presiden Amerika sudah mula luntur sedikit pegangannya terhadap pendirian Amerika.
Negara-negara lain sudah mula menunjukkan bahawa mereka tidak sama sekali boleh menerima apa yang berlaku di bumi Palestin. Maka kita yang berkumpul pada hari ini, sudah tentu membawa suara negara, suara rakyat, teruskan tuntutan kerana tuntutan demi tuntutan akan menyebabkan negara-negara yang sekian lama tidak ambil peduli dan tidak peka akan terfikir bahawa genosid ini boleh berlaku di mana-mana. Disebut Cambodia tadi, disebut Rwanda, di Srebrenica, semua ini sejarah yang perlu kita elakkan daripada berlaku.
Jadi kita harap dengan usul kita pada hari ini, disokong dengan tindakan pemerintah kerajaan dan pemimpin kita berterusan, menuntut sidang khas walaupun kita tahu ada kuasa yang punya veto boleh membantah, boleh menolak usul kita, tetapi hasil kerja keras kita, insya-Allah akan berbalas dengan memberikan peluang umat Palestin membina terus negara mereka. Saya mohon menyokong Datuk Yang di-Pertua.
Timbalan Yang di-Pertua
Baik. Terima kasih.
Sekarang saya minta YB Menteri untuk menjawab.
Timbalan Menteri Luar Negeri - Datuk Mohamad bin Alamin
Bismillahi Rahmani Rahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Terima kasih Datuk Yang di-Pertua. Saya mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Senator Tuan Haji Hussin bin Ismail ke atas usul yang telah dikemukakan. Saya juga bagi pihak kerajaan ingin mengucapkan jutaan terima kasih di atas sokongan padu dan solidariti semua Ahli-ahli Senator Dewan Negara dalam perbahasan sebentar tadi yang telah menyatakan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada rakyat Palestin dalam mempertahankan kedaulatan negara mereka serta mengecam rejim Zionis Israel terhadap kekejaman yang sedang berlaku di bumi Palestin.
Saya memuji Ahli-ahli Yang Berhormat atas suara-suara yang lantang menyuarakan sokongan terhadap isu Palestin ini termasuk cadangan yang telah disuarakan oleh Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian. Alhamdulillah, hari ini sekali lagi kita bersatu dalam mengecam kekejaman rejim Zionis dan menyuarakan hak-hak yang sepatutnya diperoleh oleh rakyat Palestin. Semangat seperti inilah yang rakyat mahukan dari Ahli-ahli Dewan dalam memperjuangkan isu-isu kemanusiaan sejagat terutamanya isu hak kemanusiaan rakyat Palestin.
Kerajaan mendengar semua cadangan yang telah dikemukakan oleh Ahli-ahli Yang Berhormat. Seperti yang telah ditekankan, kerajaan mengambil sikap terbuka dan akan meneliti semua cadangan yang telah dilontarkan. Titik noktahnya cadangan-cadangan ini adalah untuk rakyat Palestin mendapatkan kembali hak-hak mereka yang telah dirampas dan juga dinafikan oleh rejim Zionis.
Datuk Yang di-Pertua, dalam konflik Palestin dan Israel ini, sekali lagi saya ingin tegaskan bahawa pendirian kerajaan tidak berubah sama sekali dan sentiasa konsisten sejak dari dahulu lagi. Malaysia sentiasa menyokong pengembalian hak mutlak bebas kepada rakyat Palestin daripada pendudukan haram Israel. Pengembalian hak tanah yang telah dirampas dan hak membentuk sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat berdasarkan garis panduan sempadan pra 1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.
Saya juga ingin mengulangi pendirian kerajaan bahawa Malaysia secara tegas menolak sebarang usaha ataupun kenyataan bahawa Malaysia akan menyertai Perjanjian Abraham atau normalisasi hubungan dengan Israel.
Datuk Yang di-Pertua, saya ingin menyentuh beberapa isu yang telah pun dilontarkan oleh Ahli-ahli Yang Berhormat secara sepintas lalu. Walau bagaimanapun saya akan memberi respons beberapa persoalan yang telah pun dikemukakan oleh beberapa Ahli-ahli Yang Berhormat yang lain.
Malaysia sentiasa terlibat secara aktif dan tidak pernah gagal daripada menyertai rundingan-rundingan di peringkat antarabangsa dan serantau seperti Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN), Persidangan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi menyuarakan pendirian lantang Malaysia mengenai krisis yang sedang berlaku di Palestin supaya ia dapat ditangani dengan segera serta mengecam kekejaman rejim Zionis ke atas rakyat Palestin.
Malaysia dan juga negara-negara sefikiran juga telah mengambil peluang di semua platform antarabangsa termasuk forum ekonomi untuk meneruskan tekanan antarabangsa bagi memperjuangkan isu Palestin. Yang terkini pada 29 November yang lalu, Malaysia telah menyertai dan menyampaikan kenyataan negara pada debat terbuka peringkat tinggi berkaitan situasi di Timur Tengah termasuk isu Palestin atau, dengan izin, High-Level Open Debate on the Situation in the Middle East including the question of Palestine di Majlis Keselamatan PBB.
Malaysia dalam kenyataan negaranya telah lantang menggesa Majlis Keselamatan PBB dan masyarakat antarabangsa untuk mengambil tindakan segera dan efektif bagi memastikan gencatan senjata serta-merta dan menyediakan koridor yang selamat bagi tujuan penghantaran bantuan kemanusiaan tanpa sebarang halangan.
Datuk Yang di-Pertua, Malaysia juga pada sesi tersebut telah menekankan bahawa konflik ini tidak akan dapat diselesaikan selagi negara Palestin tidak diiktiraf sebagai negara merdeka dan berdaulat berdasarkan sempadan pra 1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.
Ahli Yang Berhormat Senator Datuk Seri Hajah Zurainah binti Musa dan juga Yang Berhormat Senator Tuan Nik Mohamad Abduh bin Nik Abdul Aziz telah menyentuh soal peranan kita. Bagaimana kita untuk mendokumentasikan segala bukti di mana kekejaman dan juga kelakuan jenayah yang telah pun dilakukan oleh Israel terhadap Palestin, agar dapat kita bentangkan dan juga dihantar kepada pihak Mahkamah Jenayah Antarabangsa.
Sukacita saya maklumkan bahawa walaupun kita bukanlah ahli dalam Statut Rom tetapi kita juga sentiasa menyeru dan juga memperhebatkan kerjasama kita dengan badan- badan dunia yang lain seperti OIC dan juga dengan negara yang sefikiran dengan kita, supaya kita bersama-sama bersolidariti untuk kita mengumpul segala macam bukti-bukti dan juga mendokumentasikan segala salah laku yang telah pun dilakukan oleh pihak Israel dan kita insya-Allah akan kerjasama rapat dengan Pejabat Pendakwa Raya ICC untuk kita menghantar bukti-bukti kita.
Timbalan Menteri Luar Negeri - Datuk Mohamad bin Alamin
Untuk makluman, bagaimana kita untuk bekerjasama dan juga memainkan peranan, antara lainnya ialah kita akan bekerjasama dalam bentuk kita memberikan bukti-bukti salah satunya.
Yang keduanya, kita boleh membantu pihak ICC untuk menyerahkan dokumen- dokumen undang-undang dan juga kita juga akan mempermudah proses sukarela mana- mana saksi yang akan dihantar kepada pihak ICC, sekiranya nanti kes itu dibawa ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa.
Selain daripada itu...
[Tepuk] Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, kita juga sejajar dengan apa yang telah pun diutarakan oleh Senator, Yang Berhormat Senator Datuk Dr.
Mujahid Yusof tentang keputusan PBB. Di mana kita juga, sebenarnya bersetuju dan juga menyahut saranan daripada PBB untuk mengambil bahagian dan untuk makluman, kita juga telah menghantar written submission kita kepada pihak ICJ- International Court of Justice, di The Hague, Belanda.
Tentang kesan pelanggaran kekejaman yang dibuat oleh Israel terhadap Palestin, kita telah menghantar pada bulan Julai yang baru lepas dan insya-Allah, kita akan terus mengambil bahagian secara aktif untuk memberikan oral submission kita pada bulan Februari, pada tahun 2024 mengenai kekejaman dan juga jenayah yang dilakukan oleh Israel terhadap Palestin, insya-Allah. Yang Berhormat Datuk Seri Yang di-Pertua, beberapa Ahli Yang Berhormat juga menyentuh soal kerjasama kita dengan pihak Mesir untuk kita memantapkan lagi bagaimana kerjasama itu supaya memastikan proses penghantaran misi bantuan kemanusiaan itu dapat dibuat secara lancar dan teratur. Saya ingin menyatakan bahawa kerjasama yang kita peroleh daripada pihak Mesir cukup baik pada hari ini, di mana penghantaran pertama dan kedua sudah sampai ke Gaza dan juga sampai ke kumpulan sasarnya.
Insya-Allah penghantaran ketiga akan kita lancarkan dan kita akan lepaskan pada 17 Disember pada minggu hadapan. Sebanyak 60 tan ini, kebanyakannya merupakan barang- barang perubatan dan juga barang-barang untuk musim sejuk, kita akan terbangkan pada 17 Disember ataupun 18 Disember pada subuh 2 pagi, 18 Disember pada minggu hadapan.
Berkenaan dengan itu, Yang Berhormat Senator Dr. Musoddak ada menyentuh tadi tentang bagaimana untuk kita memperhebat kerjasama dengan Mesir. Saya ingin menyatakan bahawa Malaysia juga bercadang untuk menubuhkan Malaysian Humanitarian Hub (MHH) di Mesir sebagai pusat sehenti dalam penyaluran bantuan kepada rakyat Palestin.
Dalam hal ini Kementerian Luar Negeri telah mengemukakan nota diplomatik kepada Kedutaan Mesir yang berada di Kuala Lumpur pada 23 November yang lepas, untuk mendapat pertimbangan ke atas cadangan penubuhan MHH- Malaysian Humanitarian Hub ini. Saya yakin dan percaya, insya-Allah kita akan mendapat kerjasama yang cukup baik mengenai cadangan yang kita buat ini.
Yang Berhormat Senator Datuk Seri Hajah Zurainah binti Musa ada menyentuh juga tentang bagaimana layanan kepada pelarian Palestin yang berada di negara kita. Saya ingin menyatakan bahawa setakat pada hari ini, pihak UNHCR yang berpangkalan di Kuala Lumpur, telah mengeluarkan sebanyak 602 - kad UNHCR kepada pelarian dari Palestin.
Antara yang berada di negara kita ini, untuk makluman Ahli Yang Berhormat, iaitu mereka yang sedang belajar. Para pelajar dan sebagainya dan sukacita kita maklumkan bahawa antara kemudahan yang kita hulurkan kepada mereka ini yang berada di Malaysia, iaitu kemudahan kesihatan di pusat kesihatan, kemudian kemudahan pendidikan di Pusat Bimbingan Alternatif kendalian NGO dan juga kendalian UNHCR.
Kemudian kita juga telah memberikan Program Imunisasi COVID-19 kepada seluruh pelarian Palestin yang berada di Malaysia dan kita juga memberikan untuk makluman Yang Berhormat, untuk para pelajar itu ialah yuran dan juga bantuan pendidikan, juga kita hulurkan kepada studen ataupun pada pelajar Palestin yang berada di Malaysia.
Datuk Sri Yang di Pertua, satu isu yang mungkin perlu kita ambil tahu mengenai isu Palestin ini, mungkin tak disentuh tetapi saya perlu sentuh sedikit tentang RUU yang telah pun diluluskan oleh Senate Amerika Syarikat iaitu untuk meluluskan Akta Pendanaan.
Pendanaan mana-mana kumpulan kepada pihak Hamas ini harus diberikan sanction lebih kurang begitu maksudnya.
Kita ingin menyatakan bahawa sanction yang telah pun dikeluarkan yang bakal dikeluarkan, yang mana RUU tersebut telah pun diluluskan di peringkat Lower House Amerika Syarikat dan sekarang masih lagi menunggu kelulusan di peringkat Upper House.
Kemungkinan kebarangkalian untuk usul itu ataupun RUU itu diluluskan cukup tinggi. Walau bagaimanapun, saya ingin menyatakan bahawa segala apa juga section yang bakal dilaksanakan oleh pihak Amerika Syarikat ini kita tidak akan memberikan pengiktirafan Datuk Sri Speaker. Kerana apa?...
[Tepuk] Kerana sanction yang dikeluarkan itu adalah secara unilateral. Kita tidak pernah mengiktiraf mana-mana sanction yang dibuat secara unilateral.
Malaysia hanya mengiktiraf sanction yang dibuat secara multilateral oleh badan-badan dunia seperti PBB sahaja.
Jadi, ini harus kita fahami ada isu yang berkaitan bahawa kita jangan terlalu lantang, jangan terlalu hebat bersuara peringkat antarabangsa kerana kita takut nanti kita akan diberikan tekanan segala macam, dari sudut ekonomi dan sebagainya, tetapi kita tegas.
Insya-Allah, kita konsisten dalam menyuarakan, memperjuangkan hak Palestin walau apa juga kita akan teruskan suara lantang kita di peringkat antarabangsa insya-Allah. Datuk Sri Speaker, sedikit maklumat tentang Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP), di mana kita setakat pada hari ini telah pun berjaya mengutip hampir RM60 juta dan banyak lagi mungkin yang akan datang untuk tampil memberikan bantuan itu. Pada hari ini sahaja Datuk Sri Speaker, alhamdulillah kita menerima sumbangan daripada Wanita UMNO Malaysia sebanyak RM600,000 lebih yang telah diserahkan kepada Yang Amat Berhormat Timbalan Perdana Menteri I melalui Yang Berhormat Datuk Sri Menteri Luar sebentar tadi. Yang keduanya juga kita menerima sumbangan daripada Speedmart 99 sebanyak RM200,000 lebih pada hari ini...
[Tepuk] Bagi pihak kerajaan, saya ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang telah tampil menghulurkan bantuan untuk meringankan beban saudara-saudara kita yang berada di bumi Palestin.
Datuk Sri Speaker, sebagai melambangkan solidariti dan juga bantuan Malaysia secara berterusan, Kerajaan Malaysia telah bersetuju untuk membantu para pelajar Palestin yang saya sebutkan tadi, yang sedang menuntut di institusi pendidikan tinggi di Malaysia seramai 818 orang yang melibatkan kemudahan-kemudahan seperti:
(i) kerajaan akan menanggung semua yuran di institusi pendidikan tinggi awam; dan
(ii) yang belajar di IPTS swasta setuju kurangkan yuran dan juga melibatkan diskaun daripada 10 peratus kepada 100 peratus.
Terima kasih banyak kepada IPTS, yang juga turut sama menyahut cabaran dan juga menyahut seruan kita supaya membantu.
Timbalan Menteri Luar Negeri - Datuk Mohamad bin Alamin
Kita juga memberikan elaun sara hidup secara bulanan selama setahun dibiayai di bawah dana AAKRP yang kita kendalikan. Jadi, kita telah menggunakan Tabung AAKRP ini dengan keadaan yang cukup bertanggungjawab dan juga beramanah. Jadi, saya menyarankan kepada semua pihak yang ingin tampil memerlukan bantuan datanglah kepada kami di Kementerian Luar Negeri, kita akan kendalikan dana itu sebaik mungkin. Kenapa penting kita tampil dan menyerahkan melalui AAKRP ini, kerana kita mahu pengendaliannya secara telus dan juga secara teratur.
Datuk Yang di-Pertua, sebagai penutup, sebagai negara yang sentiasa lantang dalam memperjuangkan nasib rakyat Palestin yang sentiasa ditindas, Malaysia akan terus komited dalam memberikan sokongan kemanusiaan dan pembangunan kepada Palestin. Bantuan dari kerajaan iaitu merentasi segala aspek baik daripada segi politik, ekonomi dan penyaluran bantuan kewangan, pembangunan kapasiti termasuk pembangunan semula infrastruktur yang diperlukan oleh rakyat Palestin.
Sekian, terima kasih. *Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh...
[Tepuk]*
Timbalan Yang di-Pertua
Terima kasih Yang Berhormat Menteri. Satu penjelasan yang amat padat sekali dan menyatakan pendirian kerajaan untuk orang Palestin. Jadi, Ahli Yang Berhormat masa sudah cukup dalam perbahasan di bawah Peraturan Mesyuarat 17(1) pada hari ini dan yang demikian saya menutup perbahasan ini. Terima kasih kepada peserta- peserta dan juga pihak Menteri yang telah mengambil bahagian.
[Perbahasan ke atas Rang Undang-undang Perbekalan 2024 disambung semula]
Timbalan Yang di-Pertua
Dipersilakan Dato’ Dr. Nelson a/l Renganathan untuk meneruskan perbahasan. Saya rasa boleh tambah masa sikit kerana YB tadi begitu baik hati bagi laluan untuk Usul.
Dato’ Dr. Nelson a/l Renganathan
Terima kasih Datuk Yang di-Pertua. Maaf, jika saya tidak mengambil bahagian dalam perbahasan tadi, dalam mengecam kekejaman rejim Zionis.
Sebagai seorang Kristian, saya juga merasa amat sedih dengan apa yang sedang berlaku dan saya sokong penuh tindakan kerajaan dalam hal ini...
[Tepuk] Saya berdoa agar keadaan di sana akan reda menjelang perayaan Krismas tidak lama lagi. Whatever the reason, it’s not acceptable to murder innocent women and children. Collateral damage is not an excuse, dengan izin. So, saya memang bersatu dengan rakan-rakan Senator tadi, jangan salah faham. Saya mengambil masa saya untuk memberi penjelasan, terima kasih.
Seorang Ahli
Cantik...
[Tepuk]
Dato’ Dr. Nelson a/l Renganathan
Jadi, saya pergi ke belakang sikit, mana tadi.
Timbalan Yang di-Pertua
YB Dato’ Nelson.
Dato’ Dr. Nelson YB/l Renganathan
Ya.
Timbalan Yang di-Pertua
Saya akan bagi laluan kepada YB Jaziri sebagai penghormatan terakhir beliau untuk mempengerusikan Mesyuarat pada petang ini...
[Tepuk]
Dato’ Dr. Nelson a/l Renganathan
Ini rakan saya mungkin dapat lebih sikit.
Timbalan Yang di-Pertua
Terima kasih.
[Tuan Jaziri Alkaf Abdillah Suffian mempengerusikan Mesyuarat]
Dato’ Dr. Nelson a/l Renganathan
Okey, Speaker dah siap...
[Ketawa] Boleh saya teruskan?
Tuan Jaziri Alkaf Abdillah Suffian
Bukan Speaker ya, Yang di-Pertua.
Dato’ Dr. Nelson a/l Renganathan
Yang di-Pertua, alamak
Tuan Jaziri Alkaf Abdillah Suffian
Saya mohon pembetulan.
Dato’ Dr. Nelson a/l Renganathan
Kena sebiji, minta maaf.
Tuan Jaziri Alkaf Abdillah Suffian
Teruskan Yang Berhormat, terima kasih.
Dato’ Dr. Nelson a/l Renganathan
Okey tadi saya berhenti dekat Sabah, Sarawak dia punya perpaduan dikatakan memang baik, tetapi di Semenanjung ini ada masalah sedikit.
Jadi, dengan segala hormatnya saya meminta Menteri Perpaduan menyatakan apakah program-program yang akan dilaksanakan bagi mengukuhkan semangat perpaduan bagi tahun 2024.
Saya ingat lagi tahun 70-an, tahun 80-an dan juga awal tahun 90-an. Tiada isu polarisasi ataupun polarization dengan izin. Apakah bukti yang saya boleh kemukakan di sini?
Umpamanya dalam bidang hiburan. Ingat lagi tak kumpulan Carefree?
Datuk Dr. Azhar bin Ahmad
Ingat...
Dato’ Dr. Nelson a/l Renganathan
Ingat. Lagu popular mereka itu apa? Belaian Jiwa. Ya.
Datuk Dr. Azhar bin Ahmad
Cuba nyanyi tengok.
Dato’ Dr. Nelson a/l Renganathan
Ingat lagi? Hendak nyanyi tapi fasal tak sihat.
Dulu-dulu memang ada nyanyi dengan kugiran Melayu. Fasal apa kugiran Melayu dekat kampung saya dia tak boleh nyanyi lagi Inggeris, so dibawa bersama saya. Saya baru umur 18 tahun. So, dia suruh saya nyanyi lagu Inggeris, tetapi bila saya dengar dia orang nyanyi lagu Melayu, saya pun nak rasa nak nyanyi lagu Melayu. Jadi, saya nyanyi, popular pada masa itu Rindu Bayangan. Ingat lagi, tapi ini, lagu ini. Boleh dengar?.... [Memperdengarkan lagu daripada telefon bimbit] Ada reason lah kenapa. Sikit sahaja. Ingat lagi? Okey, nanti boleh dengar balik...
[Dewan ketawa]
Dato’ Dr. Nelson a/l Renganathan
Now, kenapakah satu lagu yang saya pilih ini? Agaknya siapa yang nyanyi lagu ini?
Siapa yang menghasilkan lagu ini adalah seorang yang bernama Simon Justin Leo, dia menghasilkan lagu ini dan juga dia yang mempersembahkan lagu ini. Selepas itu, kugiran lain Innuendo menyanyikan semula lagu Belaian Jiwa ini. So, seorang yang berbangsa India yang telah mempopularkan lagu ini.
Kumpulan Freedom, ingat? Tak ada masa nak- ingat lagu Mulanya Di sini yang dinyanyikan oleh Seha kumpulan Freedom, ingat. Siapakah yang cipta lagu itu? Royston Sta Maria. Roy dan Friend, ingat? Freedom, Kumpulan Freedom. Dia yang mencipta lagu itu.
Seterusnya kumpulan Kenny, Remy and Martin, ingat lagi?
Beberapa Orang Ahli
Ingat
Dato’ Dr. Nelson a/l Renganathan
Tiga orang adik-beradik Cina, ingat? Ingat lagu dia tak?...
[Dewan ketawa]
Dato’ Dr. Nelson a/l Renganathan
Tak apa, kejap lagi dengar lagu dia orang. Fasal apa? Siapa kata Cina tak boleh cakap Melayu dengan fasih.
Datuk Dr. Azhar bin Ahmad
Itu Cina Kelantan...
Dato’ Dr. Nelson a/l Renganathan
Bukan, Cina Penang, tetapi ini tiga orang adik- beradik dia punya lagu, apa lagu dia ya. Suratan atau Kebetulan. Dia orang yang tulis lagu itu, dia yang mempersembahkan lagu itu. Alleycats semua tahu. Alleycats siapa tak tahu, tetapi lagu-lagu Alleycats kebanyakannya digubah oleh Orang Melayu. Dah lupa nama-nama mereka. Mereka yang menggubah lagu, bagi pada orang India mempersembahkan lagu-lagu mereka.
Okey. Ini yang berlaku pada tahun 70-an, tahun 80-an, tahun 90-an dan perpaduan tidaklah secara retorik. Pada masa itu bila ada kugiran-kugiran macam ini, secara semula jadi perpaduan itu dah ada. Apakah jadi sekarang? So, saya menyeru agar Kementerian Perpaduan buat sesuatu, ambil iktibar dengan apa yang berlaku pada tahun-tahun 70-an, 80- an dan sebagainya untuk mengukuhkan perpaduan di kalangan kita. Apa salahnya kalau kita mengadakan- suruh budak-budak India mencipta lagu Melayu, tengok ada satu contest.
Dato’ Dr. Nelson a/l Renganathan
Ini akan memperkukuhkan lagi kuasa. Bukan. Penguasaan Bahasa Melayu. So, kalau kita- musics dengan sports merupakan dua perkara yang boleh meningkatkan semangat perpaduan. Sports juga. Saya juga ada - di bidang sports umpamanya, ada coach Melayu. Datuk Misbun Sidek. Siapakah dia punya studen? Semua budak Cina mostly. Di olahraga, banyak coach India. Siapakah studen dia? Sabahan, budak Melayu. Coach football, dah tahu lah. Ada yang Cina, ada yang India. Di sana mereka tidak ada masalah isu perpaduan, unity, polarisasi. Semua itu tak ada. Di manakah datangnya isu ini sekarang?
Daripada ahli-ahli politik lah yang suka mengheboh-hebohkan isu ini.
Jadi, saya rasa peranan Kementerian Perpaduan. Ada Kementerian Perpaduan tetapi sampai sekarang saya belum dapat tahu lagi apa yang dia buat. Mungkin dia buat, kita tak tahu. Kita tidak dijemput bersama, tapi feelings spirit itu tak ada lagi. So, saya harap bahawa Kementerian Perpaduan akan membuat sesuatu untuk meningkatkan balik spirit atau perpaduan ini daripada segi muzik, daripada segi sports. Kita boleh dapat- itu sedih. Fasal apa? Apabila kawan saya seorang Melayu, dia lari kan, kita orang support dia gila-gila. Lepas dia menang sahaja, best. Kita duduk sama. Minum sama. Pada masa kita umur 20 tahun.
That’s why. Sekarang ini I pergi sebuah sekolah, 100 orang murid bukan Melayu, 1,000 orang murid Melayu di Shah Alam. Saya pergi sana untuk memberi bantuan pada pelajar B40.
Adakah kerana yang lain pergi ke sekolah bukan kebangsaan ataupun itu demografi sesebuah tempat itu? So, selagi kita tidak mengambil kira isu-isu seperti ini. Maka, di Semenanjung Malaysia ini, kita pasti akan ada masalah-masalah ini. So, saya berharap- kita ada satu Kementerian Perpaduan. So, saya berharap bahawa kementerian tersebut akan membuat sesuatu untuk mengatasi isu-isu ini.
Maka, dengan ini saya juga menyeru kepada Yang Berhormat Menteri, Timbalan Menteri bila datang Dewan bagi jawapan. Tolong hormati kita lah kerana kadang-kadang jawapan yang dibagi macam mereka menganggap kita macam budak sekolah. Jawapan recycle. Pakai balik jawapan tahun lepas. Sesi sebelum ini dan sebagainya. Jangan. Jangan.
Kita pun dibayar oleh kerajaan untuk membuat kerja. Kalau nak goyang kaki datang dengar, balik sahaja lah. Tak ada masalah, tetapi kalau kita serius, kita perlu diberi jawapan yang betul, tepat supaya kita boleh menyalurkan kembali jawapan tersebut kepada rakyat di luar sana. Jadi, kita pun boleh dihormati oleh mereka.
Kebanyakan jawapan yang diberi tidak boleh diguna. Tidak boleh diguna fasal recycle ataupun sudah lapuk. Sudah lapuk. Jadi, berapa banyak kita bahas, berapa banyak kita cakap, kalau kita tidak diberi penerangan yang sesuai, apakah guna? Lepas itu kita dimarahi pula oleh Tan Sri Yang di-Pertua. Manakah kau orang? Tak ada dalam Dewan. Tak buat kerja.
Macam mana nak buat kerja kalau duduk sini tengok Yang Berhormat Menteri, Timbalan Menteri bagi jawapan yang main-main sahaja. Start sahaja, Oh kita di kementerian, kita prihatin tentang ini. Kita tak nak dengar prihatin. Jawab sahaja lah soalan kita terus. Jadi, kita boleh dengar banyak lagi jawapan. Banyak lagi soalan boleh ditujukan kepada kementerian...
[Tepuk] Maka, itu juga. Ini ada kena mengena dengan bajet fasal Menteri kena buat kerja baik-baik supaya bajet untuk kementerian mereka efektif. Sama juga dengan kita. Bajet juga.
Duit yang dibayar pada kita, kita kena efektif. Kalau tidak, pada masa yang akan datang, kalau Menteri tak bagi jawapan yang lebih baik lah, saya bangun. Saya cakap I object. Keluar.
Tak apa. Baru mereka rasa. Kalau tidak, malu lah orang di luar, sana cara dia pandang kita.
Macam rubber stamp, future YB Speaker. Alright. Dia pandang kita macam rubber stamp...
Tuan Jaziri Alkaf Abdillah Suffian
Tuan Yang di-Pertua.
Dato’ Dr. Nelson a/l Renganathan
Oh, sorry. Why pada you je saya nak cakap...
Tuan Jaziri Alkaf Abdillah Suffian
Ini amaran kali kedua.
Dato’ Dr. Nelson a/l Renganathan
Mungkin tak lama lagi jadi Speaker dekat Sarawak kot ya. So, jadi...
Tuan Jaziri Alkaf Abdillah Suffian
YB mohon...
Dato’ Dr. Nelson a/l Renganathan
Orang kata you know, many of two is spoken in jest, dengan izin. So, Tuan Yang di-Pertua terima kasih. Saya pun rasa bangga lah kerana dapat berbahas depan future leader dari Sarawak.
Tuan Jaziri Alkaf Abdillah Suffian
Terima kasih YB.
Dato’ Dr. Nelson a/l Renganathan
Jangan lupa bila kita kat Sarawak nanti. Jaga kita lah baik-baik. Bawa kawan-kawan sekali dan juga saya mohon sokong. Terima kasih.
Tuan Jaziri Alkaf Abdillah Suffian
Terima kasih...
Dato’ Dr. Nelson a/l Renganathan
Sokong.
Tuan Jaziri Alkaf Abdillah Suffian
Terima kasih Yang Berhormat Senator Dato’ Dr.
Nelson a/l Renganathan. Saya tadi dua tiga minit lebih sebab beliau ada bagi kita dengar lagu. So, terima kasih Yang Berhormat.
Saya sekarang menjemput Yang Berhormat Senator Tuan Haji Abdul Nasir bin Haji Idris.
Tuan Haji Abdul Nasir bin Haji Idris
Bismillahi Rahmani Rahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Tuan Yang di-Pertua, pertamanya saya mengucapkan terima kasih diberikan kesempatan memberikan saya peluang untuk sama- sama mengambil bahagian membahaskan RUU Perbekalan 2024.
Syukur juga kepada Allah SWT kerana berikan kesempatan, nikmat kesihatan kepada kita- semua untuk kita sama melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang ditaklifkan kepada kita. Kita sebagai Ahli Dewan Negara dalam memperjuangkan, dalam memperkatakan dalam melaksanakan tanggungjawab kita yang telah ditaklifkan kepada kita.
Di kesempatan ini saya mengambil kesempatan untuk merakamkan ucapan tahniah kepada semua YB Senator yang telah meluluskan RUU sebentar tadi yang meluluskan usul membantah kekejaman tindakan kekejaman Israel ke atas rakyat Palestin.
Tuan Haji Abdul Nasir bin Haji Idris
Dalam jawapan Menteri di atas, kesungguhan pihak kerajaan untuk mengambil tindakan yang sepatutnya dalam menangani isu pembantaian rejim Yahudi Israel ke atas umat Islam di Palestin. Ini membuktikan kepada kita, kebersamaan kita bersama dalam Dewan ini dalam menangani isu-isu sejagat yang boleh kita, orang kata diberikan kebaikan – boleh diberikan pujian kepada kita semua.
Tuan Yang di-Pertua, anggaran perbelanjaan yang dicadangkan pada tahun 2024 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri baru ini berjumlah RM395.8 bilion dan sejumlah RM303.8 bilion ataupun RM76.8 bilion iaitu Perbelanjaan Mengurus dan RM92 bilion ataupun 23.2 termasuk RM2 bilion bagi simpanan luar jangka adalah untuk bayaran perbelanjaan pembayaran.
Tuan Yang di-Pertua, saya juga nak sebut di sini tentang mungkin- barangkali kita sebut di sini, kita nak minta penjelasan daripada Yang Berhormat Menteri, Timbalan Menteri, walaupun Yang Berhormat Timbalan Menteri, Menteri tak ada seorang pun dalam Dewan kita.
Jadi saya nak minta supaya pesanan-pesanan yang saya bangkitkan mendapat perhatian daripada pihak kerajaan.
Kerajaan Negeri Kedah menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan atas pemilihan Kedah sebagai negeri yang berpotensi untuk melaksanakan perlombongan REE dengan anggaran oleh Jabatan Mineral dan Geosains sebanyak 250,000 metrik tan berbanding keseluruhan yang ada berjumlah 1.196 juta metrik tan. Anggaran berkenaan merupakan penerokaan hasil baharu yang bakal di ekstrak dalam tempoh 10 tahun yang akan datang dan insya-Allah ia akan menyumbang kepada pembangunan ekonomi KDNK Kedah dan juga Malaysia.
Ia merupakan- menghasilkan royalti 15 peratus bagi karbonat REE sebagai kadar baharu yang boleh dikutip sekiranya REE menjadi bijih keberhasilan utama sektor perlombongan Kedah. Dengan kelulusan pengekstrak ini yang akan diterima pada- yang diberikan kelulusan pada Ogos lalu, ia akan memberikan hasil insya-Allah akan memberikan hasil kepada kerajaan negeri pada pertengahan 2024.
Tuan Yang di-Pertua, Kementerian Pendidikan merupakan kementerian yang memperoleh bajet yang tertinggi dalam bajet baru ini iaitu berjumlah RM58.7 bilion. Makna dia tiga tahun berturut-turut dari tahun 2021, 2022, 2023 dan tahun 2024 mendapat bajet yang tertinggi.
Walau bagaimanapun, isu kekurangan guru, kekurangan infrastruktur, kemudahan di sekolah bilik darjah masih menjadi masalah kepada sistem pendidikan kita. Mungkin ia melibatkan bilangan yang ramai yang melibatkan institusi sekolah yang berjumlah 10,225 buah sekolah rendah dan menengah yang bilangannya tinggi. Mungkin kemampuan kerajaan untuk menangani isu-isu yang berkenaan terutamanya dalam hal kekurangan guru.
Jadi saya mencadangkan supaya kerajaan mempertimbangkan, memberikan peruntukan khas, melalui peruntukan khas, melalui pelantikan guru-guru secara one-off bagi menangani isu kekurangan guru. Saya difahamkan sekarang ini kita masih kekurangan 20 orang guru terutamanya dalam mata-mata pelajaran tertentu.
Beban guru sentiasa bertambah. Jumlah pelajar yang ramai di dalam kelas, ia menjejaskan pembangunan pendidikan pelajar. Dicadangkan supaya diwujudkan- cadangan mewujudkan jawatan pembantu guru, sejauh mana ia telah direalisasikan dan berapakah jumlah lantikan baharu dibuat?
Dalam bajet ini, kementerian ada mengumumkan pembaikan tandas untuk sekolah- sekolah dan kita tidak berhasrat untuk memberhentikan inisiatif ini tapi kita melihat ada keperluan lain yang lebih mendesak kepada pihak sekolah yang kita lihat perlu diberikan perhatian. Persoalan saya, adakah benar berita ada sekolah, di sebuah sekolah di negara kita mendapat peruntukan ini dan ia tidak ada keperluan. Bukan menjadi keperluan mendesak, keperluan tandas ini dan dia tak tahu nak guna duit itu nak buat apa, peruntukan baiki tandas tadi. Kita dimaklumkan bahawa pihak sekolah itu pasang aircond. dalam tandas.
Jadi satu- hebatnya negara kita ini di tandas pun ada aircond. Padahal benda-benda lain lebih perlu diberikan perhatian.
Dalam usaha bersama memartabatkan pendidikan negara, kita amat kecewa ada suara-suara sumbang kedengaran tentang perlunya tubuh satu Jawatankuasa Khas bagi memantau guru-guru. Barangkali mahu memantau guru-guru pembangkang kut. Adakah Kerajaan Madani yang ada hari ini akan berundur ke belakang iaitu melaksanakan sesuatu tindakan yang tidak baik yang pernah dilakukan pada suatu masa dahulu?
Saya bukan nak mengungkit isu ini. Kebetulan saya juga sebagai bekas guru selama 35 tahun dalam Kementerian Pendidikan dan berkhidmat dalam Kementerian Pendidikan dan pernah menjadi mangsa kes seumpama ini. Jadi kecintaan pada dunia pendidikan boleh menyebabkan seseorang itu kecewa kerana kerenah-kerenah buruk, tindakan sesuka hati sesuatu pihak seperti menukarkan guru sesuka hati tanpa alasan yang munasabah ataupun menyekat peluang kenaikan pangkat yang boleh kepada guru-guru yang masih berkhidmat kepada Kementerian Pendidikan.
Peringatan saya adakah penempatan dan pertukaran guru juga mengikut warna baju yang dipakai? Begitu juga kenaikan pangkat, adakah ia berasaskan kepada kasut yang kita pakai? Saya menyokong penuh program Tahfiz TVET yang bagi membuka peluang kepada pelajar-pelajar tahfiz mempelbagaikan kemahiran di samping meneruskan pengajian hafazan yang diperuntukkan sebanyak RM17 juta dan diharapkan ada penambahan bajet bagi masa- masa yang akan datang.
Tuan Yang di-Pertua, Kementerian Pengajian Tinggi mendapat lebih RM16 bilion tahun ini iaitu mendapat tambahan sebanyak 68 peratus. Ia menyatakan sebagai suatu pemangkin bagi kerangka Ekonomi Madani memperkasakan rakyat melalui pendidikan tinggi.
Untuk makluman Yang di-Pertua, Dewan yang mulia ini, pihak universiti, politeknik, kolej universiti di Kedah ada mengadakan program-program di bawah Exco Pendidikan Tinggi.
Tuan Haji Abdul Nasir bin Haji Idris
Apabila dijemput pihak kementerian, pihak jabatan untuk sama-sama terlibat, malangnya saya difahamkan pihak pegawai berkenaan, pihak kementerian tidak memberi pelepasan kebenaran kepada pegawai-pegawai untuk sama-sama terlibat bagi membantu program untuk kecemerlangan pendidikan di universiti. Jadi, persoalan saya sepatutnya benda ini tak sepatut berlaku. Sepatutnya perbezaan politik tidak menjadi penghalang kepada agenda kita bersama dalam membina kecemerlangan sumber manusia- human capital dan masa depan anak bangsa kita. Jika ia benar adalah suatu yang amat malang dalam dunia pendidikan kita.
Tuan Yang di-Pertua, dalam bajet baru ini saya nak masuk sikit isu getah seperti yang diumumkan oleh Menteri yang berkenaan tentang Insentif Pengeluaran Getah daripada RM2.70 kepada RM3. Saya ucapkan terima kasih atas kenaikan insentif yang berkenaan.
Pada tahun- cuma yang menjadi persoalan saya ialah adakah insentif yang diberikan sebelum ini ia mencapai ataupun mendapat, mencapai sasaran kepada pihak-pihak yang terlibat kerana insentif ini diberi melalui permohonan oleh pihak pengusaha ataupun pihak penoreh? Adakah pihak penoreh sendiri membuat permohonan untuk mendapatkan insentif ini? Seperti yang saya fahamkan, sebelum ini pihak yang mendapat faedah daripada IPG ini ialah di kalangan tauke-tauke ataupun pengusaha-pengusaha. Jadi, penoreh sendiri tidak mendapat manfaat daripada insentif yang telah diberikan.
Begitu juga dalam bantuan musim tengkujuh yang diberikan kepada penoreh- penoreh. Dalam bajet kali ini dinaikkan daripada RM600 kepada RM800. Jadi, ucap terima kasih dan bayaran diberikan pada bulan 11 dan 12 dan bulan 1, bulan 2. Jadi, persoalan yang sama saya nak sebut di sini, ia adakah menepati kepada golongan sasar yang penoreh- penoreh yang mendapat faedah daripada insentif yang disebutkan tadi. Jadi, kita kalau kita nak minta data-data berhubung dengan pembiayaan yang telah dikeluarkan daripada kerajaan untuk membantu. Data untuk tahun 2023 tentang berapakah jumlah yang telah diberikan kepada penoreh-penoreh dalam program IPG yang saya sebutkan tadi dan juga bantuan musim tengkujuh yang saya sebutkan tadi pada tahun 2023.
Untuk makluman Yang di-Pertua Dewan dan semua, pengurusan getah sekarang ini mengalami masalah penyakit daun luruh. Penyakit ini dah melanda negara kita dan menyebabkan produktiviti hasil getah yang berkurangan disebabkan penyakit. Orang kampung saya kata, “Penyakit pokok getah ini pun kena COVID”. Sebenarnya bukan COVID, penyakit daun luruh. Jadi, masalah dia ia memberikan kesan kepada produktiviti dan jatuhnya produktiviti tadi memberikan kesan kepada ekonomi penoreh-penoreh getah. Jadi, kita nak minta kerajaan mengambil satu tindakan segera, drastik untuk menangani isu penyakit pokok getah iaitu pokok getah daun luruh.
Tuan Yang di-Pertua, kesempatan ini juga saya nak memperingatkan kementerian yang berkenaan tentang isu banjir puing, banjir lumpur ataupun banjir aliran puing yang berlaku di Iboi pada tahun 2022 dulu. Jadi, dalam kejadian tersebut Yang Amat Berhormat Perdana Menteri yang Ke-9 datang ke tempat kejadian dan menjanjikan untuk menyiapkan rumah dan juga untuk menyiapkan infra, titi, jambatan, jalan rosak yang rosak akibat banjir puing yang berlaku yang menyebabkan kematian kepada tiga orang mangsa pada kejadian tersebut.
Jadi, untuk makluman juga pada kejadian tadi pihak kerajaan negeri sudah siap menyediakan 17 buah rumah pada 1 September 2022, kehadiran Perdana Menteri ke tempat program, ke tempat kejadian dan pada Kerajaan Negeri Kedah telah menyiapkan rumah untuk keluarga, 17 - keluarga pada 4 Julai pada- minta maaf.
Dalam lawatan pada 1 September 2022, untuk membina dan menyiapkan jambatan bailey. Maksud dia, kerajaan berjanji untuk menyiapkan jambatan bailey, jambatan sementara penduduk di samping rumah penduduk dan juga infrastruktur penduduk supaya ia dapat disiapkan. Saya difahamkan tanggungjawab ini telah diberikan kepada pihak ICU. Kita nak tahu sejauh mana pelaksanaan projek ini kerana projek ini dah begitu lama dengan kerajaan ini. Daripada 2022, dah nak hujung 2024. Kita mohon kerjasama ataupun tindakan segera daripada pihak kerajaan.
Tuan Yang di-Pertua, yang terakhirnya, saya mohon kesempatan ini juga saya nak sebut di sini ialah tentang isu yang- isu ID Digital. Baru-baru ini Perdana Menteri meminta projek ini disegerakan di peringkat kerajaan. Program ID Digital ini tidak dinafikan mempunyai berbagai-bagai faedah untuk memudahkan rakyat serta pengurusan kerajaan. Ada dua isu yang ingin saya bangkitkan berkaitan tentang ID Digital ini. Pertamanya, kenapakah ia perlu disegerakan? Siapakah yang mendapat projek ini? Berapakah kerajaan telah belanja untuk melaksanakan projek ID Digital ini?
Seterusnya berkaitan dengan cybersecurity. Adakah kerajaan menjamin ID setiap rakyat Malaysia dijaga dengan baik tanpa sebarang pecah maklumat bagi pihak ketiga- third party ataupun dibocorkan sendiri oleh orang dalam yang tidak bertanggungjawab. Minta kerajaan juga menyatakan kesediaan CyberSecurity Malaysia terhadap perkara-perkara yang bakal berlaku ini. Jadi, saya mohon penjelasan pihak Menteri, pihak yang berkenaan untuk apa yang telah saya bangkitkan. Sekian. *Wallahua'lam'. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh...
[Tepuk]*
Tuan Jaziri Alkaf Abdillah Suffian
Terima kasih Yang Berhormat kerana menepati masa.
Sekarang saya menjemput Yang Berhormat Senator Datuk Bobbey Bin Suan. Terima kasih.
Datuk Bobbey Ah Fang Bin Suan
Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua. Jutaan terima kasih kepada Tuan Yang di-Pertua kerana memberi peluang kepada saya untuk berbahas dalam Rang Undang-undang Perbekalan 2024 pada petang ini.
Nampaknya saya merupakan pembahas yang kedua terakhir. Sebelum itu saya juga mengambil peluang ini untuk merakamkan jutaan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri selaku Menteri Kewangan Malaysia yang juga Ketua Kerajaan Madani atas komitmen berterusan dalam pembangunan Sabah dengan penambahan peruntukan pembangunan sebanyak RM6.6 bilion ketimbang RM6.5 bilion sebelum ini.
Datuk Bobbey Ah Fang Bin Suan
Saya menyasarkan peruntukan ini akan digunakan sebaik-baiknya oleh Kerajaan Sabah. Pada masa yang sama saya mengharapkan peruntukan pembangunan untuk Sabah akan terus ditingkatkan setiap tahun supaya pembangunan di Sabah adalah setara dan setanding dengan pembangunan di Wilayah Semenanjung dan pembangunan Nusantara di Kalimantan.
Tuan Yang di-Pertua, saya tidak ingin berhajat mengulangi perkara ataupun isu-isu yang telah dikemukakan oleh rakan-rakan yang terdahulu berucap, khususnya rakan-rakan dari Sabah berkaitan dengan masalah yang masih menghantui Sabah seperti kekurangan bekalan tenaga elektrik, infrastruktur, jalan-jalan yang berlubang, sekolah daif, guru-guru yang ada tinggal dalam stor selama tiga tahun, masalah air bersih bukan sahaja dialami oleh rakyat biasa tetapi bakal-bakal guru di asrama-asrama IPG yang bertahun-tahun lamanya dan panjang lagi sebenarnya senarai.
Namun, saya fokus dan sentuh kepada lima isu spesifik sahaja kali ini. Walaupun kita ini di Dewan Negara yang mulia ini bukan Wakil Rakyat, kita tidak ada kawasan tetapi kita juga dijumpai oleh rakyat kita di seluruh- sama ada negeri ataupun negara ini untuk menyampaikan suara-suara mereka ke Dewan yang mulia ini.
Tuan Yang di-Pertua, isu yang pertama ingin saya bangkitkan kepada kerajaan hari ini ialah berkenaan Program Komuniti Drumming di Sabah. Bagi tahun 2024, RM58.1 bilion disediakan untuk membiayai pelbagai bentuk pemberian kerajaan kepada rakyat, merangkumi subsidi, insentif dan bantuan. Hampir 50 peratus peruntukan ini adalah untuk mengawal harga barang dan perkhidmatan untuk manfaat rakyat.
Umpamanya RM225 juta disediakan untuk membiayai kos pengedaran barangan keperluan asas seperti petrol, gas, petroleum cecair (LPG), tepung, beras dan minyak masak ke kawasan desa serta pendalaman di bawah Program Komuniti Drumming. Program ini akan diperluas ke kawasan baharu di Sabah dan Sarawak. Menurut Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Program Komuniti Drumming ialah satu program di mana pihak kerajaan memastikan bekalan barangan keperluan asas di kawasan luar bandar adalah mencukupi.
Di samping itu, kerajaan menyerap kos pengangkutan bagi tujuh barangan keperluan asas iaitu beras, gula, minyak masak, tepung, LPG, minyak diesel dan minyak petrol RON95.
Ini bermakna penduduk luar bandar dapat membeli tujuh barangan keperluan di atas pada harga yang sama di kawasan bandar ataupun pekan. Sehubungan itu, saya mohon kepada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup rakyat, untuk menjelaskan dan memperincikan modus operandi program ini di Sabah dan kadar keberhasilan program ini yang telah dilaksanakan di Wilayah Semenanjung.
Tuan Yang di-Pertua, isu kedua yang saya ingin cakna iaitu menaik taraf Klinik Kesihatan Daerah Nabawan ke status hospital daerah. Di dalam Bajet Madani bagi tahun 2024, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) diperuntukkan RM41.2 bilion ketimbang RM36.3 bilion tahun ini iaitu peningkatan terbesar daripada kalangan kementerian.
Sehubungan itu, saya mohon kepada Kerajaan Persekutuan untuk mempertimbangkan menaiktarafkan Klinik Kesihatan Daerah Nabawan kepada status Hospital Daerah Nabawan.
Justifikasi penaik taraf ini dalam aspek kesihatan dan perubatan rakyat amat mendesak dan mestilah diberi perhatian serius.
Manakala daripada aspek lain terutamanya sosial, penaiktarafan ini adalah sesuai dengan status Daerah Nabawan sebagai daerah penuh dan mempunyai daerah kecil Pagalungan yang terletak dengan sempadan Kalimantan, Indonesia. Serta dengan bakal pewujudan badan-badan serta agensi-agensi kerajaan yang lain, seperti pembinaan balai polis baharu, Briged PGA bakal dibangunkan, pembangunan ICQS dan penaiktarafan jalan raya dari Pagalungan ke Pensiangan, sudah pasti peningkatan populasi dan pesakit juga akan bertambah.
Ini ditambahi dengan kepesatan pembangunan dan kerancakan aktiviti ekonomi yang bersempadan dengan ibu kota baharu Indonesia iaitu Nusantara. Dengan adanya Hospital Daerah Nabawan, para penduduk di Parlimen Pensiangan dan kawasan Parlimen berdekatan akan berpeluang mendapat fasiliti kesihatan lengkap tanpa perlu melalui perjalanan yang jauh seperti ke hospital daerah lain iaitu Keningau ataupun Hospital Queen Elizabeth Kota Kinabalu untuk menerima rawatan atau rawatan susulan. Pada masa yang sama, ia akan mengurangkan beban kos kepada perbelanjaan para pesakit yang tidak berkemampuan.
Tuan Yang di-Pertua, isu yang ketiga ingin saya sentuh sekali lagi ialah pemerkasaan TVET Pendidikan Khas di Sabah ini. Peruntukan keseluruhan melibatkan RM6.8 bilion dalam Bajet 2024 iaitu jumlah terbesar setakat ini untuk pendidikan TVET. Belanjawan Madani pertama telah memulakan secara rintis untuk merombak pendidikan TVET negara melalui kerjasama dengan syarikat GLC dan swasta. Setakat 5 Oktober lalu, 17 GLC dan 44 buah syarikat swasta telah terlibat dalam pemeteraian 61 memorandum persefahaman mencakup kerjasama melalui pembangunan kokurikulum serta sumbangan peralatan dan kepakaran.
Sehubungan itu, sekali lagi saya mohon agar inisiatif rintis ini bukan sahaja melibatkan TVET Persekutuan tetapi juga turut melibatkan institusi TVET di Sabah dan Sarawak. Syarikat-syarikat GLC dan swasta yang disenaraikan juga perlu menawarkan pekerjaan kepada para belia di Sabah dan Sarawak untuk menangani masalah penghijrahan mereka ke negara jiran termasuklah ke Semenanjung Malaysia ini. Pada masa yang sama, dalam proses memperkasakan TVET, janganlah pula dilupakan dan dipinggirkan golongan kurang dan kelainan upaya ataupun OKU.
Saya masih risau dan terkilan. Sehingga sekarang ini masih belum mendapat sebarang maklum balas yang jelas dan tindakan daripada kementerian terbabit. Isu ini sudah bertahun saya suarakan, tetapi masih belum ada sebarang respons positif ataupun tindakan daripada Kementerian Pendidikan mahupun Kementerian Sumber Manusia. Wujud kelompangan dan ketidakseimbangan daripada segi perlaksanaan TVET ini di Sabah. Bila mana Sabah yang berpopulasi seramai 3.59 juta orang, tetapi hanya satu Kolej Vokasional Pendidikan Khas diwujudkan, jauh di bahagian pendalaman iaitu di bahagian Keningau yang menawarkan hanya dua kursus TVET Pendidikan Khas sedangkan terdapat di negeri-negeri di Semenanjung ini paling sedikit enam ataupun tiga kursus.
Datuk Bobbey Ah Fang Bin Suan
Jadi sehubungan itu, saya mohonlah sekali lagi kepada pihak Kementerian Pendidikan dan Kementerian Sumber Manusia untuk duduk semeja dan mencari jalan menangani isu ini.
Tuan Yang di-Pertua, yang terakhir berkenaan dengan Malaysia Agreement 1963 ataupun yang dikenali sebagai MA63. Saya pernah mengatakan di Dewan yang mulia ini, selepas MA63 menjadi sebahagian daripada Perlembagaan Malaysia pada 14 Disember 2021, bahawa oleh sebab MA63 bukan lagi setakat dokumen perjanjian sahaja, tetapi ia sebahagian daripada Perlembagaan Malaysia.
Wajibnya Kerajaan Pusat harus mematuhi dan melaksanakan tugas apa yang termaktub dalam Perlembagaan selepas itu supaya rakyat Sabah dan Sarawak melihatnya sebagai satu keikhlasan dan bukannya sebagai satu kegagalan.
Saya menyambut baik dan berterima kasih kepada kerajaan atas pemberian khas baru di bawah Perkara 112D yang dinaikkan sehingga RM300 juta mulai tahun ini, tahun 2023 sebagai penyelesaian interim namun ada beberapa perkara yang saya tuntut agar dilaksanakan supaya Wilayah Sabah dan Persekutuan mendapat situasi yang win-win dengan izin, iaitu:
(i) memasukkan perkataan pemberian interim di dalam warta ini dan warta ini boleh dipinda bila-bila masa; dan
(ii) pemberian khas ini perlulah dinaikkan sekurang-kurangnya RM1 bilion bukannya RM300 juta sementara menunggu formula dua per lima ataupun 40 peratus ini seperti yang termaktub dalam Artikel 112C, Perlembagaan Persekutuan.
Pagi tadi apabila saya melihat di TV1, saya terdengar dan terlihat Pengarah LHDN mengatakan bahawa pendapatan yang kita kutip di Sabah ini disasarkan kepada RM7.2 bilion pada tahun ini dan setakat pada 31 Oktober yang lepas, LHDN telah mengutip cukai di Sabah sebanyak RM6.3 bilion. Jadi, sekarang saya mohon bertanya. Apa jenis cukai yang dikutip setiap tahun ini dan berapakah jumlah yang belum terbayar oleh Kerajaan Pusat ke Sabah sejak tahun 1963.
Tuan Yang di-Pertua, kepada Kerajaan Pusat marilah sama-sama menghormati dan menunaikan tanggungjawab kita terhadap keluhuran Perlembagaan negara ini demi meningkatkan persefahaman supaya kita hidup aman dan damai. Sama-samalah kita dalam tiga buah wilayah ini untuk mendapatkan hak masing-masing. Tidak ada yang terlampau lebih, tidak ada yang terlampau kurang. Jadi, kami di Sabah ini hanya menuntut hak kami mengikut Perlembagaan bukannya meminta-minta. Sabah amat setia dan menghormati Kerajaan Pusat dan Perlembagaannya. Jadi, saya pun mengharapkan juga Kerajaan Pusat pun begitu juga kepada negeri Sabah ataupun Wilayah Sabah.
After all, the Malaysian Constitution recognize our special right as Sabahan and Sarawakian, dengan izin. Tuan Yang di-Pertua, sebelum saya mengakhiri perbahasan pada petang ini dengan saya menekankan bahawa kita bukan sahaja bertekad untuk menoktahkan kemiskinan tegar seperti yang kita selalu laung-laungkan tetapi juga bertekad untuk menoktahkan amalan tegar pilih kasih dan berat sebelah dalam proses permohonan peruntukan pembangunan untuk rakyat tanpa mengira parti politik.
Sehubungan itu, saya memohon supaya Kerajaan Madani khususnya Kementerian Kewangan untuk memantau dengan serius semua kementerian dan wakil rakyat yang terlibat dalam menguruskan peruntukan pembangunan untuk rakyat demi memastikan niat dan tekad luhur Bajet Madani ini benar-benar dilaksanakan dengan tulus, adil dan saksama.
Akhir kata, kepada rakan-rakan yang beragama Kristian, saya mengucapkan Selamat Menyambut Hari Natal dan Selamat Menyambut Tahun Baru 2024 kepada semua rakan Senator dalam Dewan ini dan juga kepada semua warga Dewan Negara, seluruh staf dan pegawai-pegawai di Dewan ini.
Tuan Yang di-Pertua, saya mohon menyokong Rang Undang-undang Perbekalan 2024 ini. Sekian, terima kasih...
[Tepuk]
Tuan Jaziri Alkaf Abdillah Suffian
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Bobbey.
Sekarang saya menjemput pembahas terakhir kita untuk hari ini. Saya mempersilakan Yang Berhormat Senator Datuk Razali bin Idris...
[Tepuk]
Datuk Razali bin Idris
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. *Bismillahi Rahmani Rahim...
[Membaca sepotong doa]* Terima kasih Tuan Yang di-Pertua kerana memberi sedikit ruang kepada saya untuk sama-sama membahaskan Bajet 2024, insya-Allah dan Tuan Yang di-Pertua, inilah kali yang terakhir saya akan berbahas dan insya-Allah pada tahun hadapan, dah penghujung. Jadi, ini bajet yang terakhir saya bahas.
Saya terus pergi kepada perkara pokok. Tuan Yang di-Pertua, saya nak sebutkan perkara royalti minyak pada awal perbahasan ini. Perkara ini sangat penting kerana berbalik kepada soal keikhlasan seperti mana sahabat kita dari Sabah tadi dan berjiwa besar. Kalau untuk Palestin, kita boleh berjiwa besar inikan pula negeri Terengganu yang dilihat seolah- olah dianaktirikan. Soal paling besar sepatutnya negeri Terengganu menerima kurang lebih RM1.5 bilion royalti minyak pada awal tahun 2023 tetapi dah masuk Disember tahun 2023 baru kita dapat RM510 juta sahaja.
Untuk makluman Dewan, perjanjian di antara kerajaan Terengganu dengan Petronas diadakan pada 22 Mac 1975 berdasarkan Akta Pembangunan Petroleum sekali gus memberi kelebihan pada Terengganu untuk mendapat lima peratus royalti minyak setahun. Pada tahun 1978, kerajaan Terengganu menerima royalti petroleum pertama berjumlah RM29 juta sebelum jumlahnya meningkat kepada RM50 juta pada tahun berikutnya.
Pada tahun 1980, Terengganu menerima RM83 juta namun penemuan petroleum pada tahun 1974 menjadi persaingan politik. Hasil petroleum menjadi sumber kewangan utama bagi Terengganu dan bayaran royalti ini secara konsisten, konsisten, dibayar oleh Kerajaan Pusat kepada kerajaan Terengganu sehingga dihentikan pada tahun 2000.
Datuk Razali bin Idris
Yang nak cerita di sini Tuan Yang di-Pertua, tindakan Kerajaan Pusat yang dikuasai oleh Barisan Nasional pada ketika itu menukar status royalti kepada wang ihsan dikatakan bertentangan dengan semangat federalisme.
Untuk makluman Dewan, bayaran berkenaan tidak disalurkan kepada Kerajaan Negeri Terengganu yang dikuasai PAS ketika itu, sebaliknya diuruskan oleh Agensi Persekutuan untuk membiayai program pembangunan sehingga sekarang pun legasi Kerajaan UMNO-BN dibawa pula oleh Kerajaan PMX. Tindakan sedemikian seolah-olah menidakkan kebolehan Terengganu dan Yang Amat Berhormat Menteri Besar Terengganu dalam melaksanakan pentadbiran kerajaan negeri. Ini sesuatu yang tidak boleh diterima langsung. Jangan menghukum kerajaan, jangan menghukum rakyat negeri Terengganu.
PMX dilihat bersikap seperti Israel yang menghukum rakyat Gaza di Palestin. Saya nak ingatkan secara tegas bahawa rakyat Terengganu melihat PMX lemah dan zalim.
Datuk Wira Dr. Mohd Hatta bin Md Ramli
Tuan Yang di-Pertua, Tuan Yang di- Pertua. Saya mohon Yang Berhormat tarik balik.
Datuk Razali bin Idris
Jadi...
Datuk Wira Dr. Mohd Hatta bin Md Ramli
Perumpamaan tersebut yang saya rasa terlampau, itu melampau.
Tuan Jaziri Alkaf Abdillah Suffian
Yang Berhormat.
Datuk Razali bin Idris
Bagilah peluang saya nak bercakap.
Datuk Wira Dr. Mohd Hatta bin Md Ramli
Yalah, bercakap, bercakap tetapi saya katakan contoh ataupun perumpamaan itu melampau.
Tuan Jaziri Alkaf Abdillah Suffian
Yang Berhormat, mohon...
Datuk Wira Dr. Mohd Hatta bin Md Ramli
Saya mohon tarik balik.
Datuk Razali bin Idris
Bagilah peluang saya nak bercakap.
Tuan Jaziri Alkaf Abdillah Suffian
Yang Berhormat Datuk Razali.
Datuk Razali bin Idris
Ya. Melampau ke?
Tuan Jaziri Alkaf Abdillah Suffian
Memberi celahan tadi ataupun tidak?
Datuk Razali bin Idris
Apakah dia?
Tuan Jaziri Alkaf Abdillah Suffian
Memberi, memberi celahan tadi atau tidak?
Datuk Razali bin Idris
Beri peluang saya bercakaplah, beri peluang saya bercakap.
Tuan Jaziri Alkaf Abdillah Suffian
Ya, okey. Teruskan Yang Berhormat.
Datuk Razali bin Idris
Tak perlu tarik balik ya?
Tuan Jaziri Alkaf Abdillah Suffian
Tak perlu.
Datuk Razali bin Idris
Baik.
Datuk Wira Dr. Mohd Hatta bin Md Ramli
Tuan Yang di-Pertua. Mengumpamakan Perdana Menteri seolah-olah Zionis Israel ini saya rasa suatu perkara yang kita tidak boleh terima dalam suasana kita nak...
Datuk Razali bin Idris
Saya serah kepada Tuan Yang di-Pertua. Kalau Tuan Yang di-Pertua kata berat, tarik balik.
Datuk Wira Dr. Mohd Hatta bin Md Ramli
Saya mohon Tuan Yang di-Pertua minta ditarik balik.
Tuan Jaziri Alkaf Abdillah Suffian
Saya mohon Datuk Razali memperbetulkan ayat supaya kita dapat...
Datuk Razali bin Idris
Nak betul macam mana?
Datuk Wira Dr. Mohd Hatta bin Md Ramli
Tarik baliklah.
Tuan Jaziri Alkaf Abdillah Suffian
...Macam mana, saya rasa yang mungkin lebih afdal dan boleh diterima oleh Dewan Negara.
Datuk Razali bin Idris
Tak apalah.
Datuk Dr. Azhar bin Ahmad
[Bangun]
Datuk Wira Dr. Mohd Hatta bin Md Ramli
Tidak ada pembunuhan macam di sana, tidak ada perobohan hospital, macam mana kita nak samakan Perdana Menteri kita macam Kerajaan rejim Zionis Israel.
Tuan Jaziri Alkaf Abdillah Suffian
Okey, mungkin daripada segi itu tidak sama.
Datuk Razali, mungkin...
Datuk Wira Dr. Mohd Hatta bin Md Ramli
Please-lah Tuan Yang di-Pertua. Kalau ini, saya tidak akan...
Datuk Razali bin Idris
Saya serah kepada Tuan Yang di-Pertua.
Tuan Jaziri Alkaf Abdillah Suffian
Okey, mungkin kita tarik balik.
Datuk Dr. Azhar bin Ahmad
Ha, tarik balik aje, tarik balik aje.
Datuk Wira Dr. Mohd Hatta bin Md Ramli
Tarik baliklah.
Datuk Razali bin Idris
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Tuan Jaziri Alkaf Abdillah Suffian
Okey, teruskan Datuk Razali.
Datuk Razali bin Idris
Oleh sebab Tuan Yang di-Pertua berkuasa besar, saya bersetuju tarik balik.
Tuan Jaziri Alkaf Abdillah Suffian
Okey, terima kasih. Terima kasih Yang Berhormat.
Datuk Razali bin Idris
Jadi, saya harap dan Kerajaan PMX sekarang jangan mempermainkan hak rakyat, jangan hukum rakyat yang telah memilih. Jadi Stateman dengan izin demi rakyat negara kita Malaysia. Kekalahan teruk di PRK Kemaman juga terkait dengan royalti sebenarnya kerana pemilih melihat pemimpin UMNO bersekongkol.
Oleh sebab itu, rakyat negeri Terengganu, pemilih negeri Terengganu memberi satu amaran keras, referendum bahawasanya royalti minyak ini penting untuk rakyat negeri Terengganu. Sebelum rakyat bangkit secara total dan merebak ke seluruh negara, maka bayarlah lima peratus dengan segera. Bukan kita minta 20 peratus yang pernah dijanjikan oleh PMX sebelum menjadi Perdana Menteri. Kita minta hanya lima peratus.
Untuk pengetahuan Yang di-Pertua Dewan, rakyat Terengganu sudah bersedia untuk solat hajat tuntut royalti minyak. Insya-Allah, kita akan lakukan di masa yang terdekat.
Dato’ Yang di-Pertua, saya kena lompatlah. Bukan lompat parti, lompat fakta sebab sahabat saya dah potong banyak tadi, jadi saya lompat sikitlah. Buang yang mana yang...
Seorang Ahli
Lompat parti pun okey.
Datuk Razali bin Idris
Bukan lompat parti, insya-Allah tidak.
[Ketawa]
Beberapa Ahli
[Menyampuk]
Datuk Razali bin Idris
Saya tak boleh lompat. Saya lompat fakta, saya nak kurangkan masa, insya-Allah. Saya nak bangkitkan dua isu besar dan saling berkaitan iaitu keterjaminan makanan dan kos sara hidup. Rakyat sampai ke hari ini pun ramai yang bertanya-tanya.
Sampai bila kita nak hadap dengan harga barang naik, harga mahal, barang pun disorok-sorok, bekalan kurang malahan sekarang ini pun ada tempat yang menjual nasi lemak dah tak ada telur. Apatah lagi nak minta telur goreng. Peniaga kata bekalan telur tak sampai, tak cukup, makin kurang dan tiada langsung. Ini realiti Yang di-Pertua.
Terus terang saya nak katakan bahawa warung, restoran dan gerai-gerai makanan semakin kurang pelanggan pada ketika ini. Ramai juga yang dah bungkus perniagaannya.
Malahan, kalau makan tengah hari harga mencecah RM12 hingga RM15 sepinggan. Kata peniaga, harga beras mahal, harga bawang mahal, harga kentang mahal, harga cili mahal, segala macam barang mentah mahal. Ini juga satu realiti, Tuan Yang di-Pertua.
Jadi, saya nak bertanya sebenarnya setakat mana konsep Rahmah ini membantu mengatasi keadaan yang tidak berapa terjamin ini terutama soal sekuriti makanan atau keterjaminan makanan dan kos sara hidup. Rakyat sebenarnya seolah-olah tidak merasai apa yang dilaksanakan. Sebagai contoh, pertama, saya nak bertanya setakat mana tarif elektrik yang dikekalkan berjaya mengelak kesannya terhadap harga barangan pengguna?
Kedua, BERNAS yang telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM60 juta kepada petani bagi membantu kos sara hidup pesawah tetapi masalahnya sekarang kehidupan pesawah pun masih di takuk lama. Adakah kerajaan atau kementerian terus laksanakan susulan dan menggandakan taraf hidup mereka ini?
Tuan Yang di-Pertua, yang terakhir yang ketiga. Saya dimaklumkan Kementerian Ekonomi beri tumpuan jangka pendek kepada harga berpatutan dengan membangunkan data harga yang kononnya untuk menyuntik keanjalan harga tetapi sekarang apa sebenarnya yang dicapai? Pohon penjelasan.
Tuan Yang di-Pertua, seperti mana dalam Belanjawan 2024, sebanyak RM350 juta disediakan di bawah Program Penggalakan Pemasaran, Promosi dan Acara Pelancongan serta RM14 juta lagi disediakan untuk pemerkasaan sektor pelancongan, kebudayaan dan juga warisan. Peruntukan itu begitu besar dan berharap sebahagian peruntukan itu dapat juga difokuskan kepada pelancongan Terengganu yang kaya dengan khazanah alam semula jadi seperti pulau, underwater gallery, dengan izin, pantai yang indah dan juga rain forest, dengan izin.
Cuma, saya nak kenal pasti peruntukan yang agak kecil iaitu sebanyak RM2.2 juta sahaja bagi Islamic Tourism Centre (ITC). Jadi saya nak tahu apakah sebabnya dan apa fungsinya dan peranan yang dimainkan oleh ITC selama ini?
Untuk makluman Dewan, keaktifan aliran pelancong global ini adalah datangnya daripada pelancong Islam. Di Malaysia sahaja saya difahamkan, sejumlah 3.5 juta orang pelancong iaitu pelancong Islam disasarkan ke mari. Jumlah itu 20 peratus daripada jumlah keseluruhan pelancong asing yang disasarkan berjumlah 16.5 juta orang. Kalau di Terengganu pelancong Islam ini kebanyakan yang disasarkan adalah daripada pelancong Timur Tengah termasuk Turki dan pelancong Islam dari China, India dan Pakistan.
Datuk Razali bin Idris
Seperti pelancong Islam Timur Tengah dan Islam China sebagai contoh mereka ini datang bersama keluarga yang besar bagi berbelanja mewah jika datang melancong ke negara kita. Negeri Terengganu merupakan negeri pelancongan mesra syariah dan mesra Muslim. Negeri cantik, budaya menarik dan orangnya pun baik-baik. Ini selari dengan konsep destinasi utama mesra Muslim Global yang mana Negeri Terengganu menyediakan pakej hiburan riadah, aktiviti bersifat kekeluargaan yang akan menambah lagi daya tarikan.
Pengecualian visa 30 hari sangat-sangat dialu-alukan. Cuma kita minta kementerian tolak seramai mungkin pelancong ke Terengganu yang suram kerana persepsi musim tengkujuh.
Kita ada Setiu Wetland, ada sembilan ekosistem yang mana tidak ada di tempat lain.
Setiu Wetland yang merupakan Taman Negeri Terengganu yang mempunyai sembilan ekosistem berbeza di dalam sebuah kawasan iaitu laut, pesisir pantai, kawasan berlumpur, lagun, muara sungai, sungai, pulau, rimba, pasir pesisir dan rimba paya bakau. Keunikan Setiu Wetland di mana ia merupakan satu-satunya tanah becak, tanah berair.
Di Malaysia yang mempunyai ekosistem seperti ini yang saling berhubungan iaitu laut, pantai, lumpur, lagun, muara, sungai, pulau, hutan di sepanjang pantai dan paya bakau.
Produk-produk ini dijual sepanjang tahun termasuklah pada musim monsun seperti mana hari ini iaitu pada bulan November sehingga Februari melalui pengenalan pakej baharu Tuan Yang di-Pertua iaitu pakej mandi hujan.
Tak ada asid hujan di sana. Sahabat saya hendak turun ke Terengganu pun, insya- Allah kita boleh uruskan. Mandi hujan tanpa asid, tidak payah bilas Tuan Yang di-Pertua.
Pakej ini merangkumi makanan tempatan yang popular seperti masakan kepah, masak lemak, lokam bakar dan kerabu nipah. Dia sekali pakej tidak mahal lebih kurang dalam RM250 sahaja seorang.
Kita ada Tasik Kenyir yang dapat dinikmati keindahan alam semula jadi yang wajib singgah kalau pergi ke Negeri Terengganu. Mempunyai 320 buah pulau, mempunyai waterfall, mempunyai santuari kelah, gua yang sangat cantik dan houseboat boleh tidur beberapa malam di dalam Tasik Kenyir. Musim monsun ini sangat sesuai kepada kaki pancing kerana kalau hujan lebat orang kampung kata ikan dia galak. So kaki pancing sangat suka dan kita menyeru kepada pelancong yang mendapat visa 30 hari percuma itu turun ke negeri Terengganu dan pergi ke Tasik Kenyir, insya-Allah. Tuan Yang di-Pertua, baru-baru ini tidak ada semena-mena orang lama DAP membuat hantaran dalam FB. Tiada sekatan dalam Perlembagaan untuk bukan Melayu menjadi Perdana Menteri. Satu hari beliau impikan ia akan terjadi. Saya tidak faham apa keperluan kenyataan ini dikeluarkan. Adakah kerana DAP mempunyai 40 Kerusi sebagai tonggak kerajaan, berani? Bagi saya ini satu provokasi yang sangat bahaya dan akan cetus kecelaruan. Islam merupakan Agama Persekutuan negara. Bahasa Malaysia bahasa rasmi negara dan Orang Melayu merupakan tonggak keutuhan dan pasak kepada negara. Justeru itu adakah kerajaan tidak bercadang untuk meminda Perlembagaan supaya Perdana Menteri Malaysia adalah daripada kalangan orang Melayu, Islam. Pohon jawapan daripada kerajaan.
Tuan Yang di-Pertua, ada sedikit perbandingan peruntukan...
Dr. Lingeshwaran a/l Dato' Seri R. Arunasalam
Boleh saya mencelah?
Datuk Razali bin Idris
Saya hendak habiskan, saya hendak habiskan. Masa sudah tak ada. Dua minit lagi.
Tuan Jaziri Alkaf Abdillah Suffian
Lagi dua minit.
Datuk Razali bin Idris
Saya kena lompat, sudah tidak boleh. Ada seminit lagi.
Tuan Jaziri Alkaf Abdillah Suffian
Tak diberi, tak dibenarkan?
Datuk Razali bin Idris
Tak boleh dah.
Tuan Jaziri Alkaf Abdillah Suffian
Yang Berhormat, habiskan.
Datuk Razali bin Idris
Saya lompatlah, satu lagi. Saya hendak sentuh pasal Stadium Bukit Jalil. Selepas konsert Coldplay tempoh hari, keadaan padang stadium sangat mendukacitakan dan kelihatan masih belum pulih sepenuhnya. Untuk rekod padang baharu Stadium Nasional Bukit Jalil yang menggunakan rumput baharu jenis Zeon Zoysia merupakan tajaan daripada Tuanku TMJ.
Dengan ia digunakan secara rasmi pada Football Merdeka 2023 Oktober lalu.
Rumput jenis Zeon Zoysia ini tersebut memerlukan masa untuk tumbuh dengan baik selepas ditanam. Adakah sempat stadium ini digunakan pakai untuk final Piala Malaysia nanti. Kerana yang saya sebut ini final nanti Terengganu lawan JDT. Jadi saya risau juga, takut yang kalah itu akan memberi asbab kerana padang. Jadi apa tindakan drastik Kementerian Belia dan Sukan serta Perbadanan Stadium (PSM) untuk menyelesaikan isu ini?
Tuan Yang di-Pertua, sebelum saya mengakhiri perbahasan saya yang terakhir sebagai seorang penggubal undang-undang di bawah Belanjawan 2024 saya mengakhiri dengan rangkap pantun seperti berikut...
Banyak padi perkara padi, Padi pukat tidak berantah; Banyak budi perkara budi, Budi Senator tidak bernoktah. Sekian, saya menyokong. *Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh...
[Tepuk]*
Tuan Jaziri Alkaf Abdillah Suffian
Walaikumsalam. Terima kasih Yang Berhormat.
Dr. Lingeshwaran a/l Dato' Seri R. Arunasalam
Tuan Yang di-Pertua, boleh saya mencelah?
Tuan Jaziri Alkaf Abdillah Suffian
Sudah habis.
Dr. Lingeshwaran a/l Dato' Seri R. Arunasalam
Saya hendak tahu seperti dinyatakan oleh Yang Berhormat, bolehkah Yang Berhormat nyatakan...
Tuan Jaziri Alkaf Abdillah Suffian
Yang Berhormat, sudah selesai, sudah habis.
Tidak boleh mencelah. Okey Yang Berhormat Senator Datuk Razali bin Idris, terima kasih atas perbahasan. Alhamdulillah, selesai sudah 50 Ahli Dewan Negara berbahas Rang Undang-undang Perbekalan 2024. Tahniah semua...
[Tepuk] Ahli-ahli Yang Berhormat, Mesyuarat Dewan hari ini ditangguhkan sehingga jam 10 pagi, hari Khamis 7 Disember 2023. Terima kasih, assalamualaikum.
[Dewan ditangguhkan pada pukul 6.48 petang]