Katalog Hansard
[Tuan Yang di-Pertua mempengerusikan Mesyuarat]
Tuan Yang di-Pertua
Bismillahi Rahmani Rahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.
Syukur alhamdulillah, dengan izin Allah SWT, dan limpah kurnianya, Dewan yang mulia ini kembali lagi bersidang dan menjalankan fungsi legislatifnya untuk membolehkan Yang Berhormat Senator memainkan peranan dan melunaskan tanggungjawabnya.
Seperti yang saya tekankan semasa taklimat saya di Majlis Interaksi bersama Yang Berhormat Senator pada 20 November 2023 yang lepas, saya menyangka perbahasan yang intelektual dan kritikal kepada Yang Berhormat Senator dalam persidangan Dewan Negara sesi ini.
Cadangan penubuhan beberapa Jawatankuasa Pilihan Khas dalam masa yang terdekat ini dengan penglibatan Yang Berhormat Senator sebagai Ahli-ahli akan turut memperkasakan lagi peranan Dewan Negara sebagai badan perundangan, merealisasikan kedudukan Parlimen Malaysia seperti yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan.
Ahli-ahli Yang Berhormat, terima kasih dan syabas saya ucapkan kepada sembilan orang Ahli-ahli Yang Berhormat Senator yang menyertai saya dan mengambil bahagian secara proaktif dalam Forum Parlimentary Asia Pasifik yang ke-31 yang telah diadakan di Manila pada minggu lepas iaitu 23-25 November 2023. Saya berharap agar sumbangan produktif sebegini akan diteruskan oleh Ahli-ahli Yang Berhormat Senator dalam persidangan seumpamanya pada masa-masa yang akan datang.
Ahli-ahli Yang Berhormat, Dewan ini turut berduka cita atas berita kematian dua orang mantan Ahli Dewan Negara. Pada 16 dan 17 November 2023 yang lalu, negara telah kehilangan dua orang mantan Ahli Dewan Negara iaitu Yang Berbahagia Datuk Lihan Jok dan Yang Berbahagia Datuk Seri Maglin Dennis D' Cruz. Mereka merupakan pemimpin yang komited dalam perjuangan, seorang yang berprinsip dan sahabat yang budiman.
Untuk itu, saya mengajak Dewan yang mulia ini untuk bertafakur selama satu minit sebagai tanda hormat mengenang pemergian mendiang. Dewan Negara turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang. Saya minta Majlis untuk bertafakur selama satu minit.
[Ahli-ahli bertafakur] Terima kasih Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian.
Dengan itu, saya mulakan Mesyuarat Ketiga, Penggal Kedua, Parlimen Kelima Belas. Majlis Dewan Negara pada hari ini
Tuan Yang di-Pertua
Ahli-ahli Yang Berhormat, mengikut peruntukan Peraturan- peraturan Majlis Mesyuarat 4(3), saya dengan ini memberitahu kepada Majlis ini iaitu Ahli Yang Berhormat yang berikut telah mengangkat sumpah semasa di luar Majlis Mesyuarat Dewan mengikut Jadual Keenam dalam Perlembagaan Persekutuan, pada tarikh yang dinyatakan seperti berikut.
Pada 20 November 2023: 1. Yang Berhormat Senator Puan Rita Sarimah anak Patrick Insol
(Lantikan semula, daripada Yang di-Pertuan Agong) ...
[Tepuk] Tahniah Yang Berhormat, sekali lagi.
Tuan Yang di-Pertua
Ahli-ahli Yang Berhormat, saya suka hendak memberitahu Majlis ini iaitu Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dengan limpah kurnia Baginda telah memperkenankan akta-akta yang telah diluluskan oleh Parlimen dalam Mesyuarat Penggal yang lalu seperti berikut:
Akta Pencetakan Teks Al-Quran (Pindaan) 2023; 2. Akta Insolvensi (Pindaan) 2023; 3. Akta Suruhanjaya Koperasi Malaysia (Pindaan) 2023; 4. Akta Kesihatan Mental (Pindaan) 2023; 5. Akta Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) (No.2) 2023; 6. Akta Kanun Keseksaan (Pindaan) (No.2) 2023; 7. Akta Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (Pindaan) 2023; 8. Akta Tenaga Boleh Baharu (Pindaan) 2023; 9. Akta Fi (Jabatan Penyiaran Malaysia) (Pengesahan) 2023
Tuan Yang di-Pertua
Ahli-ahli Yang Berhormat, saya telah menerima satu perutusan daripada Dewan Rakyat yang meminta Dewan Negara mempersetujukan rang undang-undang yang telah diluluskan oleh Dewan Rakyat.
Oleh itu, saya menjemput Setiausaha membacakan perutusan tersebut.
[Setiausaha membacakan Perutusan] “16 Oktober 2023 Perutusan Daripada Dewan Rakyat Kepada Dewan Negara Tuan Yang di-Pertua Dewan Negara, Dewan Rakyat telah meluluskan rang undang-undang yang berikut dan meminta Dewan Negara mempersetujukannya:
(i) (D.R. 30/2023) Rang Undang-undang Kesatuan Sekerja
(Pindaan) 2023;
(ii) (D.R. 28/2023) Rang Undang-undang Kecekapan dan Konservasi Tenaga 2023;
(iii) (D.R. 29/2023) Rang Undang-undang Bekalan Elektrik (Pindaan) 2023;
(iv) (D.R. 34/2023) Rang Undang-undang Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023;
(v) (D.R. 32/2023) Rang Undang-undang Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (Pindaan) 2023 (dengan pindaan di peringkat Jawatankuasa sebuah-buah Majlis); dan
(vi) (D.R. 27/2023) Rang Undang-undang Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Pindaan) 2023.
Yang Ikhlas, t.t YANG DI-PERTUA DEWAN RAKYAT
Timbalan Menteri Pendidikan - Puan Lim Hui Ying
Tuan Yang di-Pertua, mengikut Peraturan Majlis Mesyuarat 66(2), saya mohon memaklumkan supaya rang undang-undang yang tersebut dalam perutusan itu dibacakan Kali Yang Kedua dan Ketiganya di Mesyuarat ini.
Tuan Yang di-Pertua
Baiklah.
Setiausaha
Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua dan Yang Berhormat Ahli-ahli Dewan Negara, mengikut peruntukan Peraturan Mesyuarat 2(7), Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Negara, dan susulan daripada pemilihan Timbalan Yang di- Pertua Dewan Negara pada 19 Jun 2023 yang lalu, saya dengan ini ingin mengesahkan kepada Majlis bahawa Kertas-kertas Undi bagi pemilihan tersebut telah pun dibakar.
Sekian, terima kasih.
1. Datuk Mohd Hisamudin bin Yahaya minta Perdana Menteri menyatakan, apa usaha yang dilakukan oleh kerajaan dalam memastikan tidak berlakunya pertindihan agihan zakat kepada golongan sasar yang memerlukan khususnya golongan asnaf iaitu fakir dan miskin.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) - Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im bin Haji Mokhtar
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, terima kasih Yang Berhormat Senator Datuk Mohd Hisamudin.
Tuan Yang di-Pertua, di bawah Butiran 1, Senarai II, Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan, perkara-perkara berkaitan hal ehwal agama Islam termasuklah pengurusan zakat sama ada kutipan mahupun agihan adalah terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri yang dikendalikan sepenuhnya oleh Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) dan Agensi Mengurus Zakat (AMZ) selaku pihak berkuasa zakat di negeri masing-masing. Sementara Kerajaan Persekutuan menerusi Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) berperanan selaku penyelaras dan pemudahcara bagi perkara- perkara berkaitan hal ehwal zakat di peringkat Persekutuan.
Setiap MAIN dan AMZ ini mempunyai sistem pengurusan zakat mengikut kesesuaian dan pertimbangan di negeri masing-masing. Saya percaya pihak MAIN dan AMZ sentiasa mengambil tindakan terbaik dari semasa ke semasa mengikut bidang kuasa dan keupayaan masing-masing dalam usaha meningkatkan perkhidmatan pengurusan zakat.
Berbalik kepada konteks di dalam memastikan bantuan agihan zakat ini sampai kepada golongan sasar yang benar-benar layak dan memerlukan iaitu asnaf fakir dan miskin tanpa menyebabkan sebarang pertindihan agihan zakat, pihak MAIN dan AMZ telah mengambil inisiatif dengan membuat semakan silang antara data asnaf dan data penerima bantuan di antara MAIN dan AMZ.
Selain itu juga, Kerajaan Persekutuan menerusi JAWHAR bersama-sama MAIN dan AMZ turut mengambil tindakan proaktif dengan menubuhkan pasukan- task force dan menjalinkan kerjasama strategik dengan pelbagai agensi Kerajaan Persekutuan, antaranya, Unit Penyelarasan Pelaksanaan ICU di JPM, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Yayasan Wilayah Persekutuan, PERKESO dan MITRA. Menerusi jalinan kerjasama strategik ini, pihak MAIN atau AMZ dapat membuat semakan silang data asnaf masing-masing dengan data e-Kasih miskin tegar beragama Islam mengikut negeri masing-masing.
Menyedari akan kepentingan pangkalan data atau bank data dalam pengurusan bantuan kepada rakyat, khususnya asnaf fakir dan miskin, Kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) sedang membangunkan sistem Pangkalan Data Utama (PADU) yang akan membolehkan pihak MAIN ataupun AMZ membuat semakan data secara real-time ataupun near real-time, dengan izin, sekali gus dapat membantu mempercepatkan proses pengagihan bantuan zakat dengan teratur kepada mereka yang layak. JAWHAR bersama-sama MAIN dan AMZ menyambut baik usaha ini dan sedang menyediakan set data yang bersesuaian sebagaimana keperluan pihak DOSM.
Tuan Yang di-Pertua, secara tuntasnya, hasil daripada kerjasama strategik yang terjalin di antara agensi Persekutuan bersama-sama pihak berkuasa MAIN ataupun AMZ yang diselaraskan oleh JAHWAR ini, perkongsian data antara agensi dapat dilaksanakan sekali gus dapat membantu mengelakkan pertindihan dalam urusan agihan zakat kepada golongan asnaf. Sekian, terima kasih, Tan Sri Yang di-Pertua.
Tuan Yang di-Pertua
Terima kasih.
Datuk Mohd Hisamudin bin Yahaya
Soalan tambahan saya, Tan Sri.
Tuan Yang di-Pertua
Sila, Yang Berhormat.
Datuk Mohd Hisamudin bin Yahaya
Dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu pada masa sekarang dan harga barang yang semakin mahal, apa usaha yang dilakukan oleh kerajaan dalam membantu meringankan beban golongan yang memerlukan, khususnya asnaf fakir dan miskin?
Tuan Yang di-Pertua
Sila, Yang Berhormat.
Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im bin Haji Mokhtar
Terima kasih Tan Sri Yang di-Pertua, terima kasih Yang Berhormat Senator Datuk Mohd Hisamudin.
Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri sentiasa prihatin dengan masalah yang dihadapi oleh rakyat khususnya berkaitan dengan kenaikan kos harga barang. Dalam konteks golongan fakir dan miskin, majlis agama Islam negeri dan agensi mengurus zakat seluruh negara terus komited dalam melaksanakan pelbagai program bantuan terhadap golongan sasar asnaf fakir dan miskin.
Bagi konteks Wilayah Persekutuan, Majlis Agama Islam Wilayah-wilayah Persekutuan telah menawarkan sebanyak 38 skim bantuan yang dipecahkan kepada kluster kebajikan, perubatan, pendidikan, perlindungan ataupun perumahan, kluster ekonomi, kluster dakwah dan pembangunan ummah. Sehingga Oktober 2023, Tan Sri Yang di-Pertua, MAIWP telah membelanjakan sebanyak RM733,262,510 melalui wang zakat yang dikutip di Wilayah-wilayah Persekutuan. Lebih kurang seramai 170,000 orang asnaf fakir dan miskin yang telah menerima manfaat daripada perbelanjaan tersebut.
Pada masa ini, MAIN mengguna pakai kaedah Had Kifayah dalam penentuan jenis dan jumlah bantuan yang disalurkan kepada semua asnaf yang layak. Sehubungan itu, melalui pengenalpastian golongan sasar yang jelas serta kaedah Had Kifayah ini, agihan yang teratur dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
Sebagai makluman Yang Berhormat, sebarang isu yang timbul berkaitan kutipan dan agihan zakat akan sentiasa diteliti dan dibincangkan oleh semua MAIN ataupun AMZ melalui dua mekanisme utama, iaitu menerusi platform Majlis Pengurusan Zakat Negeri- negeri ataupun MPZN yang diurusetiakan oleh Sekretariat yang dilantik oleh MAIN ataupun AMZ sendiri, dan Mesyuarat Penyelarasan Program Zakat bersama MAIN yang diurusetiakan oleh JAWHAR. Terima kasih, Yang Berhormat. Terima kasih, Tan Sri Yang di-Pertua.
Tuan Yang di-Pertua
Sila, Yang Berhormat.
Dato’ Ajis bin Sitin
Terima kasih, Tan Sri. Soalan saya ialah, sejauh mana pihak kerajaan mengagih zakat ini sampai kepada peringkat Orang Asli yang rata-ratanya berada di pedalaman, iaitu mualaf daripada masyarakat Orang Asli? Terima kasih.
Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im bin Haji Mokhtar
Terima kasih Tan Sri Yang di-Pertua. Terima kasih Yang Berhormat Senator Dato’ Ajis. Seperti mana yang telah saya maklumkan sebentar tadi, dalam konteks Majlis Agama Islam Negeri-negeri dan juga Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan contohnya, kita menggunakan kaedah konsep turun padang. Makna dalam peruntukan-peruntukan yang sedia ada yang telah dikumpulkan oleh Majlis Agama Islam Negeri-negeri ini, pegawai-pegawai dan staf Majlis Agama Islam Negeri- negeri telah mengambil pendekatan untuk mengenal pasti golongan-golongan Orang Asli yang termasuk dalam kategori fakir miskin. Makna mereka yang termasuk dalam golongan asnaf itu dikenal pasti.
Seterusnya, pengagihan itu akan dibuat oleh Majlis Agama Islam Negeri masing- masing. Jadi, dalam konteks itu mereka yang termasuk maknanya golongan orang asal yang memang termasuk dalam golongan yang layak untuk menerima zakat ini, mereka ini telah dikenal pasti sebab data itu telah ada. Mereka ini akan dibantu terus oleh Majlis Agama Islam Negeri masing-masing. Terima kasih Tan Sri Yang di-Pertua.
Tuan Yang di-Pertua
Ya, saya ucapkan terima kasih kepada Menteri sendiri yang datang. Kedua, saya nak memaklumkan kepada Yang Berhormat, saya hanya terima dua soalan tambahan oleh sebab kita ada 66 soalan, saya nak cuba cover sebanyak mungkin soalan-soalan pada tiap-tiap hari. Jadi, saya buat keputusan supaya soalan ditambah dengan dua soalan tambahan sahaja selepas ini. Sila Yang Berhormat.
Tuan Haji Abdul Nasir bin Haji Idris
Tuan Yang di-Pertua, Datuk Seri Yang di- Pertua, persoalan saya tentang agihan wang zakat kepada asnaf. Jadi kita hendak tanya kepada kerajaan, apakah usaha membantu asnaf-asnaf kita ini selain daripada memberikan pemberian tunai? Mungkin boleh kita bantu melalui program-program yang boleh membentuk meningkatkan pendapatan ataupun kegiatan ekonomi asnaf seperti yang telah dilaksanakan oleh Lembaga Zakat Negeri Kedah dalam Program SMART Sawah yang melibatkan 150,000 hektar tanah. Dengan program-program macam ini boleh membantu zakat, di samping kita mendapat dana kepada tabung zakat itu sendiri.
Tuan Yang di-Pertua
Sila Yang Berhormat Menteri.
Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im bin Haji Mokhtar
Terima kasih Tan Sri Yang di-Pertua. Terima kasih Senator Tuan Haji Nasir atas soalan yang dikemukakan. Secara umumnya falsafah pengagihan zakat ini saya ambil contoh dalam konteks Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, bukan sahaja untuk memberi bantuan one-off kepada golongan fakir dan miskin ini. Asasnya ialah bagaimana caranya kita nak memperkenalkan skim-skim bantuan yang dapat mengeluarkan mereka ini daripada kepompong kemiskinan.
Jadi dalam konteks tersebut seperti mana yang telah saya jelaskan sebentar tadi, di Wilayah Persekutuan ada lebih daripada 38 skim bantuan yang telah diperkenalkan dengan falsafah yang saya sebutkan tadi. Contohnya kita ada agro, skim bantuan agro.
Makna kita berikan bantuan asnaf zakat kepada fakir miskin tadi itu dan kita kenal pasti kawasan untuk mereka ini membuat cucuk tanam.
Kita di Wilayah Persekutuan contohnya ada tanaman cili dan sebagainya. Dengan bantuan zakat yang diberikan tersebut mereka ini akan dapat bekerja dan seterusnya kalau mereka yang ada kepakaran perniagaan contoh nya Tan Sri, jadi mereka ini diberikan bantuan kewangan untuk mereka ini memulakan perniagaan sebagai seorang usahawan. Jadi dengan cara macam itu, seperti mana yang disebut oleh Yang Berhormat Senator di Kedah, di Majlis Agama Islam Negeri-negeri lain juga mengambil pendekatan yang sama untuk memastikan skim bantuan yang diperkenalkan ini dapat mengeluarkan golongan asnaf tadi dan generasi anak-anak mereka ini daripada kepompong kemiskinan.
Insya-Allah pada satu masa nanti kita harapkan mereka ini juga akan menjadi di kalangan mereka-mereka yang membayar zakat. Insya-Allah, terima kasih Tan Sri.
Tuan Yang di-Pertua
Saya akan jemput Profesor Tan Sri Datuk Dr. Haji Mohamed Haniffa bin Haji Abdullah.
Prof. Tan Sri Datuk Dr. Haji Mohamed Haniffa bin Haji Abdullah
Assalamualaikum Tuan Yang di-Pertua. Soalan saya ialah soalan nombor 2.
Tuan Yang di-Pertua
Waalaikumsalam warahmatullah.
2. Prof. Tan Sri Datuk Dr. Haji Mohamed Haniffa bin Haji Abdullah minta Menteri Pendidikan menyatakan, bukti pelaksanaan dan hasil pendekatan polisi pengajaran dan pembelajaran digital yang telah dilaksanakan oleh kementerian bagi memastikan generasi baru adalah celik digital
Timbalan Menteri Pendidikan - Puan Lim Hui Ying
Terima kasih Tan Sri Yang di-Pertua. Kementerian Pendidikan Malaysia sentiasa berusaha untuk memastikan transformasi pendidikan dilaksanakan secara berterusan agar sistem pendidikan negara berada dalam landasan tepat ke arah melahirkan generasi fasih digital yang berdaya saing.
Terkini Dasar Pendidikan Digital telah dirangka dan diluluskan oleh Jemaah Menteri pada 26 Mei 2023 serta akan diluncurkan pada 28 November 2023.
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat Senator, pelaksanaan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) telah membuktikan bahawa generasi yang mengikuti kurikulum ini adalah celik digital. Modul kemahiran asas teknologi maklumat dan komunikasi (TMK) dan modul aplikasi TMK telah diperkenalkan dan dilaksanakan secara merentas kurikulum yang ada dalam semua mata pelajaran. Kedua-dua modul ini membantu guru memupuk kemahiran digital kepada murid bermula di Tahun Satu sekolah rendah.
Pada tahap dua, iaitu bermula di Tahun 4 di sekolah rendah, kemahiran asas menggunakan bahasa pengaturcaraan diperkenalkan melalui mata pelajaran Reka Bentuk dan Teknologi (RBT). Manakala pada peringkat menengah rendah murid didedahkan tentang penggunaan bahasa pengaturcaraan dalam aplikasi teknologi. Pada peringkat menengah rendah murid boleh membuat pilihan sama ada untuk terus mengambil mata pelajaran RBT atau Asas Sains Komputer (ASK). Pada peringkat menengah atas pula, murid boleh mengambil mata pelajaran Sains Komputer (SK) sebagai mata pelajaran elektif.
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat Senator, KPM juga telah menyediakan pelantar Digital Educational Learning Initiative Malaysia, dengan izin, DELIMa yang mengandungi perkhidmatan aplikasi dan kandungan yang ditambah baik secara berterusan, sesuai dengan perkembangan teknologi yang terkini. Sehingga kini 5.3 juta orang pengguna pelbagai peringkat yang terdiri daripada murid sekolah rendah dan menengah, pelajar lepasan menengah iaitu Tingkatan 6, kolej matrikulasi dan pelatih IPG, pelajar kolej vokasional, guru, pensyarah dan pemimpin pendidikan dapat mengakses DELIMa pada bila-bila masa di mana sahaja.
Sehingga 9 November 2023, seramai 4.1 juta orang murid atau 85 peratus murid dan 420,000 orang guru atau 99.5 peratus guru telah mengakses DELIMa bagi tujuan pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian.
Dalam aspek pembangunan profesionalisme guru, KPM berusaha memantapkan kompetensi digital guru bagi memastikan pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang dilaksanakan membudayakan teknologi pendidikan secara immersive. Sehingga Oktober 2023, seramai lebih 300,000 orang Guru telah disaring dan dikategorikan mengikut tahap kompetensi digital mereka. Pengesahan saringan tahap kompetensi digital guru masih berjalan dan dijangka selesai pada akhir bulan Disember 2023. Guru juga digalakkan untuk membangunkan kompetensi digital secara kendiri bagi memenuhi keperluan dalam melaksanakan tugas.
Sehingga 15 November 2023, lebih daripada 25,000 aktiviti pembangunan profesionalisme berterusan berkaitan digital atau ICT telah dilaksanakan berdasarkan statistik dalam Sistem Pengurusan Latihan Kementerian Pendidikan Malaysia.
Selain itu KPM juga melaksanakan program memperkasa pendidikan digital bagi penyampaian PdP yang berkesan. Lebih daripada 40,000 orang guru peneraju generasi digital yang telah mendapat pensijilan dan pengiktirafan di peringkat antarabangsa seperti Google, Microsoft dan Apple. Bagi meningkatkan kemahiran dan pengiktirafan guru, baucar percuma iaitu pensijilan melalui DELIMa Certified Training Programme (DCTP) diberikan sebagai insentif. Melalui program ini guru-guru diiktiraf sama ada sebagai Microsoft Innovative Educator (MIEE), Google Certified Educator atau Apple Teacher Leader. Di samping itu, bagi mengukur kompetensi digital murid, Digital Competency Score (DCS) telah dibangunkan.
Timbalan Menteri Pendidikan - Puan Lim Hui Ying
Berdasarkan Laporan DCS pada tahun 2022, lebih kurang 10,000 buah sekolah melibatkan lebih kurang 450,000 orang murid secara puratanya skor keseluruhan iaitu sebanyak 3.33 daripada 5.0. Ini bermakna murid di Malaysia telah mencapai tahap pertengahan atau digital intermediate, dengan izin yang bermaksud murid mempunyai kemahiran asas untuk penggunaan teknologi digital dan tidak memerlukan bantuan.
Untuk makluman Yang Berhormat Senator juga, pelaksanaan dan hasil pendekatan Polisi Pengajaran dan Pembelajaran Digital yang telah dilaksanakan oleh KPM dapat dilihat melalui pencapaian murid-murid sekolah pada peringkat antarabangsa.
Dalam pertandingan World Robot Olympiad Friendship Invitational Tournament 2023 Odense di Denmark, murid-murid kita telah mencapai kejayaan dengan merangkul dua Pingat Emas dan dua Pingat Gangsa. Terkini dalam pertandingan World Robot Olympiad International Final 2023 di Panama City, Panama murid-murid kita juga telah mencapai kejayaan cemerlang dengan berjaya merangkul empat Pingat Emas dan dua Pingat Perak mengikut kategori yang dipertandingkan.
Kejayaan-kejayaan utama yang dirangkul oleh murid-murid ini membuktikan pelaksanaan dan hasil pendekatan Polisi Pengajaran dan Pembelajaran Digital yang telah dilaksanakan oleh KPM telah memastikan generasi baru fasih digital tercapai selaras dengan matlamat PdP yang digubal. Sekian, terima kasih.
Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai
Soalan tambahan.
Tuan Yang di-Pertua
Sila Yang Berhormat Profesor.
Prof. Tan Sri Datuk Dr. Haji Mohamed Haniffa bin Haji Abdullah
Adakah kementerian mempunyai pendekatan untuk meningkatkan akses kepada teknologi dan sumber digital di kawasan luar bandar? Supaya selari dengan kawasan bandar dan sasaran jangka panjang kementerian dalam meningkatkan literasi digital kalangan pelajar.
Terima kasih.
Puan Lim Hui Ying
Terima kasih Yang Berhormat Senator. KPM memang berhasrat untuk memastikan semua pelajar tidak kira di bandar atau di luar bandar, semua diberi peluang daripada segi digital, pembelajaran melalui digital. Tetapi ini akan mungkin dari berfasa. Selain itu, soalan kedua Yang Berhormat, sorry. Terlepas...
[Ketawa] Yang berkenaan dengan...
Tuan Yang di-Pertua
Yang Berhormat Profesor. Dia tanya soalan kedua tadi.
Puan Lim Hui Ying
So, sorry. Saya terlepas soalan kedua tadi.
Prof. Tan Sri Datuk Dr. Haji Mohamed Haniffa bin Haji Abdullah
[Bercakap tanpa menggunakan pembesar suara]
Tuan Yang di-Pertua
Itu tak…
Seorang Ahli
Mic, mic.
Tuan Yang di-Pertua
Mic itu, mic itu tidak bunyi.
Puan Lim Hui Ying
Sasaran eh?
Prof. Tan Sri Datuk Dr. Haji Mohamed Haniffa bin Haji Abdullah
Ya. Sasaran jangka panjang kementerian dalam meningkatkan literasi digital di kalangan pelajar.
Puan Lim Hui Ying
Ini merupakan satu- memang dalam jangka masa panjang kita, ini satu projek yang atau satu aspek yang kita akan berterusan. Daripada segi digital, kita memang akan utamakan pembelajaran melalui digital ini untuk semua pelajar di semua sekolah di negara kita. Sekian, terima kasih.
Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai
Soalan tambahan.
Tuan Yang di-Pertua
Datuk Dominic.
Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai
Terima kasih kepada Tuan Yang di-Pertua.
Seperti Timbalan Menteri mengatakan semua peluang telah diberikan kepada pelajar- pelajar kawasan pedalaman dan juga di bandar, tetapi memang hakikat itu iaitu jurang digital itu memang berlaku, dan ada ketinggalan pengajaran dan pembelajaran digital itu memang ada. Oleh itu saya nak tanya Timbalan Menteri, bagaimanakah pendekatan kerajaan dalam menyelesaikan jurang digital itu yang berlaku? Satu.
Yang kedua, apakah mekanisme susulan yang diguna pakai dalam memastikan pengajaran dan pembelajaran di kalangan luar bandar setaraf dengan yang berada di bandar? Terima kasih.
Puan Lim Hui Ying
Terima kasih Ahli Yang Berhormat Senator. Memang- kita memang ada jurang bukan hanya daripada segi digital atau biasa. Memang selalu kita memang ada jurang tetapi matlamat kita di KPM akan- kita nak mengurangkan jurang antara terutamanya bandar dan luar bandar. Susulan daripada pembelajaran PdP itu, kita akan membuat banyak pemantauan dan pastikan jurang ini akan dikurangkan. Ini adalah memang satu program atau satu- mengatakan yang jangka masa panjang kita akan terus memantau.
Tuan Yang di-Pertua
Yang Berhormat Dato Dr. Nuing Jeluing.
3. Dato Dr. Nuing Jeluing minta Menteri Perladangan dan Komoditi menyatakan, apa langkah-langkah kementerian yang berkesan untuk membantu pekebun kecil dalam industri getah dan koko memandangkan harga komoditi ini sangat rendah sekarang.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi - Datuk Siti Aminah binti Aching
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Terima kasih kepada Yang Berhormat Senator. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam sejahtera dan selamat pagi kepada semua yang berada dalam Dewan yang mulia ini.
Kementerian melalui Lembaga Getah Malaysia (LGM) akan terus giat membantu untuk meningkatkan pendapatan pekebun kecil dalam sektor getah dengan melaksanakan insentif-insentif seperti berikut.
Pertama, Insentif Pengeluaran Getah ataupun IPG. Kerajaan dalam pembentangan Belanjawan 2024 telah bersetuju untuk menaikkan tahap Paras Harga Pengaktifan (PHP) bagai Insentif Pengeluaran Getah (IPG) daripada RM2.70 kepada RM3.00 sekilogram dengan peruntukan sebanyak RM400 juta. Sehingga Oktober 2023, pemberian IPG telah memberi manfaat kepada 219,419 orang pekebun kecil dengan pembayaran berjumlah RM481.24 juta.
Yang kedua, Projek Rintis penambahbaikan kepada Insentif Pengeluaran Lateks model baharu IPL. Bermula daripada 23 Oktober 2023, LGM telah mengembangkan pelaksanaan Program Lateks ke seluruh negara. Projek rintis IPL model baharu ini diharap dapat menarik penglibatan lebih ramai pekebun kecil. Usaha ini akan melibatkan penjualan terus ke kilang dengan mengurangkan kos pengangkutan dan juga pekebun kecil akan menerima harga yang lebih kompetitif. Projek rintis ini akan dimulakan melalui kluster-kluster pekebun kecil di negeri Perak, Kedah dan juga Sabah.
Yang kedua di peringkat antarabangsa pula, kerajaan juga akan melaksanakan dengan negara-negara pengeluar getah utama di dunia di bawah kerangka International Tripartite Rubber Council ataupun ITRC dan juga The Association of Natural Rubber Producing Countries ataupun ANRPC dalam menstabilkan harga getah melalui langkah pengurusan, bekalan dan peningkatan pengeluaran getah asli. Selain itu, pengenalan mekanisme pendapatan pekebun kecil juga sedang dirangka bagi memberikan manfaat kepada pekebun kecil. Khususnya memastikan negara pengeksport membayar harga berdasarkan kos pengeluaran dan kemapanan selaras dengan pematuhan kepada standard yang ditetapkan oleh negara pengguna.
Yang ketiga bagi sektor koko pula, kementerian melalui Lembaga Koko Malaysia ataupun LKM akan terus membantu pekebun kecil sektor koko dengan mengambil langkah-langkah seperti berikut.
Yang pertama, kementerian bakal melaksanakan Program Pemulihan Kebun Koko dari tahun 2024 sehingga 2025 dengan peruntukan berjumlah RM9.5 juta di Wilayah Semenanjung, Sabah dan juga Sarawak. Program ini mampu menampung keperluan import pertanian bagi peningkatan produktiviti koko oleh pengusaha koko yang sedia ada.
Boleh saya teruskan, Tuan Yang di-Pertua? Ada sikit lagi.
Yang kedua, perluasan kawasan penanaman koko melalui Program Rangsangan Pengeluaran Hasil Koko ataupun RPHK yang melibatkan skop pakej tanaman baharu koko integrasi dengan tanaman lain telah dilaksanakan pada tahun ini dengan sasaran seluas 200 hektar dengan kos RM5.2 juta di seluruh Malaysia.
Selain itu, insentif pembangunan kemudahan infra mini pemprosesan koko sebanyak 20 unit juga telah dilaksanakan untuk menampung peningkatan pengeluaran dan juga menjaga kualiti biji koko kering di premis kelompok-kelompok koko seluruh Malaysia.
Yang ketiga, pengubahan koperasi di bawah insentif Program Rantaian Kluster Koko dengan harga yang ditawarkan oleh koperasi kluster koko ketiga-tiga wilayah bagi biji koko biasa dan juga premium yang lebih tinggi daripada pasaran.
Yang terakhir, aktiviti pemantauan produktiviti dan juga aktiviti libat urus bersama di antara pakar LKM dengan pekebun kecil koko diteruskan bagi meningkatkan keyakinan dan juga kemahiran dalam mengawal perosak dan penyakit bagi mengurangkan kehilangan hasil tanaman. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua dan juga Yang Berhormat Senator.
Dato Dr. Nuing Jeluing
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Tuan Yang di-Pertua
Silakan Yang Berhormat.
Dato Dr. Nuing Jeluing
Terima kasih Timbalan Menteri atas jawapan. Soalan tambahan. Apakah langkah pencapaian atau delivery yang berkesan bagi program Insentif Pengeluaran Getah atau IPG yang telah dilaksanakan oleh kerajaan? Terima kasih.
Datuk Siti Aminah binti Aching
Terima kasih Tan Sri Yang di-Pertua. Terima kasih kepada Yang Berhormat Senator.
Langkah-langkah penyampaian yang berkesan dilaksanakan oleh kerajaan bagi program Insentif Pengeluaran Getah ataupun IPG ini ialah yang pertama sehingga 31 Oktober 2023, sebanyak 141 buah kaunter bergerak ataupun one-stop centre, dengan izin, telah dibuka oleh pihak LGM dan juga van bergerak di seluruh negara.
Kedua, program ini dijalankan dengan tujuan bagi memudahkan urusan permohonan baharu ataupun pembaharuan PAT-G, lesen ataupun permit LGM, semakan bantuan kerajaan serta khidmat nasihat dalam pemindahan teknologi ataupun TOT.
Ketiga, program OSC ini diadakan di balai raya, dewan serba guna, di premis- premis perniagaan getah secara menyeluruh di seluruh kawasan luar bandar.
Keempat, melaksanakan proses pemutihan sebanyak dua kali setahun dengan kerjasama pihak Jabatan Pendaftaran Negara bagi pemegang kad PAT-G bagi orang yang telah meninggal dunia.
Juga yang terakhir Yang Berhormat Dato Senator, pada 31 Oktober 2023, jumlah kad PAT-G yang tamat tempoh sebanyak 65,492 berbanding jumlah kad 283,577. Terima kasih Tan Sri Yang di-Pertua, terima kasih Yang Berhormat Senator.
Tuan Yang di-Pertua
Sila Datuk.
Dato’ Kesavadas a/l A Achyuthan Nair
Soalan tambahan. Ya. Ketika pembentangan Kertas Kerja Hala Tuju Komoditi Getah Negara yang diadakan di Bangi pada Isnin minggu lalu, Ketua Setiausaha Kementerian Perladangan dan Komoditi ada menyatakan berkenaan teknologi gas perangsang dan Sistem Torehan Intensiti Rendah
(LITS) yang dikatakan berupaya meningkatkan kadar torehan pekebun kecil.
Soalan tambahan saya ialah, sejauh mana pendedahan terhadap penggunaan teknologi torehan tersebut benar-benar sampai kepada pengetahuan para pekebun kecil dan selain seminar, apakah bentuk-bentuk libat urus yang sedang dan akan dipergiatkan untuk meningkatkan literasi teknologi torehan tersebut kepada para pekebun kecil di setiap negeri? Sekian, Tan Sri.
Datuk Siti Aminah binti Aching
Terima kasih Tan Sri Yang di-Pertua. Terima kasih kepada Yang Berhormat Senator yang bertanya mengenai dengan soalan tadi itu sebenarnya mengenai dengan penggunaan ataupun program ini sentiasa dibuat melalui kementerian, iaitu mengenai sentiasa membuat libat urus bersama dengan pihak-pihak yang berkaitan untuk menambah ataupun memberikan pendedahan ataupun supaya perkara ini sampai kepada semua terutama kepada pekebun-pekebun kecil agar mereka dapat melaksanakannya dengan lebih baik daripada yang sekarang ini. Jadi, maksudnya KPK sentiasa membuat promosi-promosi untuk melaksanakannya dari semasa ke semasa. Terima kasih Yang Berhormat.
Tuan Yang di-Pertua
Yang Berhormat Tuan Nik Mohamad Abduh bin Nik Abdul Aziz.
Tuan Nik Mohamad Abduh bin Nik Abdul Aziz
Terima kasih Tan Sri Yang di- Pertua. Soalan saya nombor 4.
4. Tuan Nik Mohamad Abduh bin Nik Abdul Aziz minta Menteri Kewangan menyatakan, adakah langkah rasionalisasi subsidi dan pembaharuan cukai dapat memberi impak kepada golongan yang berpendapatan rendah dan sederhana.
Timbalan Menteri Kewangan - Datuk Seri Haji Ahmad bin Haji Maslan
Tan Sri Yang di-Pertua, terima kasih kepada Yang Berhormat Senator Tuan Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz.
Definisi subsidi iaitu pemberian kerajaan untuk meringankan beban rakyat dengan menampung sebahagian kos yang perlu dibayar bagi mendapatkan barangan keperluan, perkhidmatan pengangkutan dan pembiayaan daripada pelbagai dana yang disediakan.
Tujuan pemberian subsidi adalah bagi menstabilkan harga barangan atau perkhidmatan tertentu dalam usaha kerajaan untuk membantu mengurangkan bebanan kewangan rakyat.
Pemberian subsidi bahan api pada masa ini adalah bertujuan untuk mengurangkan kos kenaikan kos sara hidup berikutan peningkatan harga barang api di pasaran terutamanya golongan berpendapatan rendah dan sederhana. Bagi terus melindungi pengguna daripada kesan kenaikan harga sebenar minyak mentah di pasaran global, kerajaan masih mengekalkan harga siling petrol RON95 pada kadar RM2.05 seliter dan diesel pada kadar RM2.15 seliter sehingga kini sungguhpun harga pasaran sebenar bagi kedua-dua produk telah melebihi paras harga siling yang ditetapkan.
Perlaksanaan pemberian subsidi secara bersasar ini akan dibuat secara berperingkat mulai tahun depan tertakluk kepada ketersediaan berasaskan kepada model yang bersesuaian dan kebolehlaksanaan serta mengekalkan fokus kerajaan dalam memastikan kos sara hidup rakyat tidak terjejas. Perlaksanaan pemberian subsidi secara bersasar yang sedang dipertimbangkan dijangka tidak akan meningkatkan kos kepada industri sedia ada. Namun, kerajaan tetap menitikberatkan aspek perlaksanaan dan komunikasi yang berkesan kepada pihak industri agak tidak berlaku kejutan kepada ekonomi.
Berhubung langkah pembaharuan cukai, sebarang perubahan polisi berkaitan cukai akan mengambil kira kesan terhadap ekonomi dan kos sara hidup rakyat.
Sehubungan itu, kerajaan sentiasa mengawasi kedudukan ekonomi semasa dan mempertimbangkan langkah-langkah fiskal yang bersesuaian dengan keperluan jangka pendek dan sederhana. Kerajaan juga akan terus mengadakan libat urus dengan semua pihak yang berkepentingan bagi mengkaji aspek pembaharuan sistem percukaian negara.
Terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua
Sila Yang Berhormat.
Tuan Nik Mohamad Abduh bin Nik Abdul Aziz
Terima kasih Tan Sri Yang di- Pertua dan terima kasih Menteri yang telah memberikan jawapan. Rasionalisasi subsidi akan menyebabkan penetapan harga barang akan ditentukan oleh kuasa pasaran dan kesannya amat besar, segera dan amat berisiko tinggi terhadap ekonomi rakyat.
Soalan saya, apakah jaminan pihak kerajaan khususnya pihak penguat kuasa dalam memainkan peranan dengan lebih berkesan bagi memastikan para peniaga tidak menaikkan harga barang sesuka hati sehingga menindas para pengguna ataupun rakyat?
Terima kasih.
Datuk Seri Haji Ahmad bin Haji Maslan
Tan Sri Yang di-Pertua, pada saat dan ketika ini diesel sebenarnya harganya RM3.80 seliter tetapi kita beri subsidi RM1.65/liter.
Maka, subsidi diesel menjadikan harganya di pasaran RM2.15/liter. Kita akan memastikan bahawa apabila dilaksanakan pada tahun depan, mungkin pada Mac kita bermula dengan diesel dulu. Selepas itu, baru RON95 pada bulan yang seterusnya. Untuk memastikan harga barangan tidak naik, subsidi diesel untuk kenderaan yang membawa barangan akan terus kekal, Tan Sri.
Jadi, tidak ada sebab harga barang boleh naik kerana harganya kekal RM2.15/liter untuk kenderaan yang membawa barangan. Yang diesel RM3.80/liter ini mungkin kita tarik hanya pada T20 sahaja Tan Sri, ya. Kemudian, untuk kenderaan perseorangan di Sabah dan Sarawak, berita baik untuk mereka, kita masih kekal lagi RM2.15/liter. Jadi, kita tahu bahawa Sabah dan Sarawak banyak menggunakan kenderaan diesel four-wheel drive misalnya. Seterusnya, untuk nelayan kita kekalkan lagi rendah iaitu RM1.65/liter. Apabila ada subsidi bersasar pun masih lagi RM1.65/liter dan pengangkutan awam seperti bas, bas sekolah masih kekal RM1.88/liter walaupun kita ada subsidi bersasar.
Oleh itu, pada saya yang penting ialah penguatkuasaan undang-undang apabila perkara ini dilaksanakan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri mempunyai ramai pegawai untuk membanteras ketirisan.
Datuk Seri Haji Ahmad bin Haji Maslan
Mereka menguatkuasakan 12 akta dan mereka juga berusaha untuk mewujudkan peniaga yang beretika untuk memastikan rakyat dan pengguna sentiasa dilindungi.
Terima kasih.
Dato’ Sri Vell Paari a/l Samy Vellu
Soalan tambahan, Tan Sri.
Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai
Tan Sri...
Tuan Yang di-Pertua
Ya, Yang Berhormat.
Dato’ Sri Vell Paari a/l Samy Vellu
Yang Berhormat, adakah kerajaan bercadang untuk menambah bantuan wang tunai kepada rakyat B40 dan M40, jika program rasionalisasi subsidi terus dilaksanakan? Terima kasih Tan Sri.
Datuk Seri Haji Ahmad bin Haji Maslan
Terima kasih Yang Berhormat Senator Dato’ Sri Vell Paari. Memang kita– dalam soalan lapan saya akan menjawab ya, mengenai subsidi ataupun bantuan tambahan kepada rakyat, tetapi secara umumnya, Sumbangan Tunai Rahmah (STR) pada tahun ini kita berikan RM8 bilion untuk lebih kurang 8 juta orang rakyat, ya- 8.7 juta orang rakyat.
Untuk tahun hadapan, bilangannya akan bertambah, hampir 9 juta orang rakyat akan menerima dan jumlahnya juga akan ditambah daripada RM8 bilion kepada RM10 bilion. Jadi, bantuan kepada rakyat akan ditambah pada tahun hadapan.
Tuan Yang di-Pertua
Terima kasih Yang Berhormat. Sekarang saya menjemput Datuk Lim Pay Hen.
Datuk Lim Pay Hen
Salam sejahtera. Salam Madani. Tan Sri Yang di-Pertua, soalan saya nombor 5.
5. Datuk Lim Pay Hen minta Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi menyatakan, sama ada Malaysia akan menggubal satu undang-undang khusus berkaitan kecerdasan buatan (AI) bagi memastikan teknologi tersebut tidak digunakan untuk tujuan jenayah atau apa sahaja yang menyalahi undang-undang negara memandangkan jenayah siber dijangka akan terus meningkat melalui penggunaan AI berikutan kepesatan kemajuan teknologi tersebut.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi - Datuk Arthur Joseph Kurup
Selamat pagi dan salam sejahtera. Terima kasih Tan Sri Yang di-Pertua. Terlebih dahulu, izinkan saya untuk menjawab pertanyaan Yang Berhormat Senator Datuk Lim Pay Hen yang menyentuh aspek penguatkuasaan dan pengawalseliaan kecerdasan buatan
(AI) bersekali dengan pertanyaan Yang Berhormat Senator Datuk Bobbey Bin Suan pada 11 Disember 2023 yang turut menyentuh perkara yang sama.
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, teknologi kecerdasan buatan (AI) merupakan satu teknologi yang kompleks dan proses pengawal serta pemantauannya melibatkan pelbagai aspek seperti teknikal, perundangan, etika, polisi dan juga standard atau piawaian. Sehubungan dengan itu, Pelan Hala Tuju Kecerdasan Buatan Negara 2021-2025 yang mengandungi tujuh prinsip AI bertanggungjawab telah dilancarkan.
Tujuh prinsip AI yang bertanggungjawab tersebut merupakan senarai panduan bagi membimbing pembangunan AI yang dipercayai dan bertanggungjawab, seterusnya dapat melindungi hak dan privasi seseorang individu daripada penyalahgunaan. Daripada aspek kawal selia dan tadbir urus pula, MOSTI dengan kerjasama pemegang-pemegang taruh sedang membangunkan kod etika dan tadbir urus AI bagi mengatasi masalah berkaitan etika penggunaan teknologi tersebut. Kod etika dan tadbir urus ini akan menjadi asas kepada pengawalseliaan AI dalam negara dan dijangka siap pada tahun 2024.
Selain itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) di bawah Kementerian Komunikasi dan Digital juga komited untuk membendung penyebaran berita palsu dengan mengambil langkah-langkah seperti pemantauan terhadap sebarang tindakan atau kandungan yang bercanggah dengan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 atau dikenali juga sebagai Akta 588, penurunan kandungan siasatan serta tindakan penguatkuasaan.
Sebarang kandungan yang dijana daripada teknologi AI atau deep fake yang berunsur palsu, lucah, jelik, sumbang dan mengancam masih tertakluk di bawah seksyen 233, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Ia boleh diambil tindakan mengikut seksyen 233, Akta 588 dan undang-undang lain yang berkenaan. Selain daripada pengawalseliaan melalui perundangan, Jabatan Standard Malaysia telah menubuhkan National Mirror Committee, dengan izin, bagi menghasilkan standard atau piawaian AI kebangsaan.
Jawatankuasa ini dipengerusikan oleh MIMOS dan keahliannya terdiri daripada wakil-wakil kementerian, agensi, akademia dan juga industri. Penggunaan standard dan perundangan merupakan saling melengkapi antara satu sama lain dan kebergantungan daripada aspek perundangan semata-mata dalam pengawalan dan pemantauan teknologi AI akan merencatkan inovasi teknologi ini. Sebaliknya, pengawalseliaan melalui akta dan perundangan hanya perlu sekiranya penggunaan standard kurang berkesan dalam tujuan pengawalan dan pemantauan.
Oleh itu, MOSTI sedang meneliti keperluan untuk mewujudkan rangka kerja perundangan dan akta berkaitan AI; dan sementara wujudnya akta AI yang berkaitan, pemetaan akta-akta sedia ada yang telah dibangunkan berdasarkan kepada setiap prinsip AI akan bertindak sebagai langkah awal untuk mengatasi masalah berkaitan etika AI daripada aspek perundangan negara. Sekian, terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua
Yes. Sila Yang Berhormat.
Datuk Lim Pay Hen
Terima kasih atas jawapan yang telah diberi oleh Timbalan Menteri tadi.
Soalan tambahan saya, menurut Laporan World Economic Forum: The Future of Jobs 2023, dengan izin, menyatakan bahawa 69 juta pekerjaan baharu yang memfokuskan kepada teknologi akan diwujudkan, manakala 80 juta pekerjaan akan pupus selari dengan peredaran teknologi semasa. Baru-baru ini di akhbar tempatan juga telah menyatakan, lebih 4.5 juta pekerjaan di negara ini akan pupus menjelang 2030 akibat ancaman AI dan pembelajaran machine learning.
Oleh itu, saya ingin mendapat penjelasan kementerian, sejauh mana kerajaan mempersiap-siagakan generasi baharu untuk masa yang akan datang dengan peluang- peluang pekerjaan baharu seperti pakar data raya, jurutera pembelajaran machine, pakar kecerdasan buatan dan sebagainya? Sekian, terima kasih.
Datuk Arthur Joseph Kurup
Terima kasih Yang Berhormat Senator.
Sememangnya statistik yang disebutkan oleh Yang Berhormat Senator tadi sebenarnya amat merisaukan. Tetapi suka atau tidak, kita perlu menerima realiti bahawa masyarakat dunia hari ini harus sesuaikan cara hidup kita dengan kehadiran AI yang mungkin akan memansuhkan beberapa pekerjaan tetapi pada masa yang sama juga mempunyai potensi untuk mencipta peluang-peluang pekerjaan yang baharu.
Jadi, sebagai usaha untuk menangani ini, kita mempunyai Pelan Hala Tuju AI di bawah Kementerian MOSTI yang telah menggariskan beberapa inisiatif berkaitan pembangunan bakat dalam bidang AI. Antara inisiatifnya adalah seperti pelaksanaan konsep pembelajaran berterusan kepada tenaga kerja sedia ada dengan memberi fokus kepada pelaksanaan program peningkatan kemahiran dan kemahiran semula- upskilling and reskilling dalam pembangunan bakat AI dan ini secara tidak langsung dapat meningkatkan ketersediaan pihak industri untuk merekrut pekerja-pekerja yang terlatih tempatan daripada bergantung kepada pakar dan tenaga mahir daripada luar negara.
Inisiatif ini akan melibatkan beberapa kementerian dan juga agensi seperti Perbadanan Produktiviti Malaysia atau juga dikenali sebagai Malaysia Productivity Commission, Kementerian Sumber Manusia, Malaysian Digital Economy Corporation dan juga HRD Corporation, di mana melibatkan tiga fasa mulai dari tahun hadapan hingga ke tahun 2025.
Fasa pertama melibatkan penyediaan platform dalam talian bagi penyampaian latihan. Fasa kedua akan- di mana sistem ini akan diperkembangkan lagi melalui penambahan fungsi seperti bimbingan mentor, penawaran modul latihan hibrid kepada juruteknik, pekerja mahir dan juga majikan; dan fasa ketiga akan melibatkan penyepaduan modul pemadanan pekerjaan.
Inisiatif ini akan menyasarkan pendaftaran seramai 500,000 orang pekerja, 30,000 buah syarikat berstatus industri kecil dan sederhana (SME) serta melahirkan 133,000 orang juruteknik dan buruh yang mahir dalam bidang ini.
Datuk Arthur Joseph Kurup
Selaras dengan itu juga, dalam Belanjawan 2024, Yang Amat Berhormat Menteri Kewangan telah mengumumkan peruntukan awal berjumlah RM20 juta bagi penubuhan Fakulti Kecerdasan Buatan yang pertama di negara kita di Universiti Teknologi Malaysia yang merupakan sebahagian daripada inisiatif kerajaan untuk mempercepatkan lagi pertumbuhan AI bagi meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara yang lebih mampan.
Sekian dan terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua
Dato’ Profesor.
Datuk Seri Prof. Emeritus Dr. Awang bin Sariyan
Terima kasih Tan Sri Yang di-Pertua. Lanjutan daripada penerangan Yang Berhormat tadi, saya ingin menimbulkan pertanyaan. Apa langkah atau pelan strategik kerajaan di pelbagai kementerian untuk menerapkan kecerdasan buatan ataupun AI yang tidak mungkin ditolak, kerana seluruh dunia sedang berlumba-lumba memanfaatkannya, terutama dalam sektor pendidikan?
Walaupun disebut sudah ada Fakulti AI tetapi dalam konteks pendidikan di peringkat prasekolah, sekolah rendah dan menengah terutamanya, itu bagi saya sangat penting.
Juga, dalam industri pembuatan yang terlibat sedikit dalam bidang saya, soal penerbitan dan penyiaran. Jadi, saya kira perlu ada satu langkah pelan tindakan strategik bagi menerapkan AI dalam memacu ekonomi negara. Terima kasih.
Datuk Arthur Joseph Kurup
Terima kasih Yang Berhormat Senator atas soalan yang dibangkitkan tadi. Seperti mana yang dikatakan tadi, AI ini merupakan satu perkembangan yang agak baharu.
Jadi, sekiranya kita tengok model-model yang ada juga di negara lain, belum ada sesuatu akta ataupun garis panduan yang agak kukuh. Maka, kita berterima kasih kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri kita kerana beliau berpandangan jauh.
Maka, untuk memastikan kita mempunyai dasar dan juga ekosistem yang baik untuk memastikan bahawa masyarakat kita, terutamanya kita punya pelajar-pelajar bermula daripada peringkat sekolah tidak ketinggalan daripada perkembangan teknologi ini.
Yang pertama, kita mula dahulu dengan pembuatan dasar dan juga garis panduan yang betul. Saya percaya bahawa penubuhan fakulti yang pertama ini akan memastikan bahawa pelajar kita dapat mengakses kepada kepakaran AI untuk menyediakan mereka untuk masuk kepada pemasaran kerja nanti, tetapi untuk peringkat yang lebih urgent dahulu, kita perlu memastikan bahawa industri kita juga bersedia.
Maka itulah sebab, kita telah menubuhkan National Mirror Committee dan sebagainya untuk memastikan kita mempunyai sistem dan kepakaran itu boleh diaplikasikan supaya tenaga buruh kita juga bersedia untuk memastikan AI ini apabila dia bukan sahaja dapat pupus peluang pekerjaan tetapi kita dapat bantu pekerja kita beralih kepada peluang-peluang pekerjaan yang baharu yang mempunyai unsur ataupun sifat AI.
Sekian, terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua
Terima kasih Yang Berhormat. Saya akan jemput Dato’ Dr. Nelson a/l Renganathan.
Dato’ Dr. Nelson a/l Renganathan
Terima kasih, Tan Sri Yang di-Pertua.
Sebelum saya ke soalan, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan jutaan terima kasih dan syabas kepada Tan Sri Yang di-Pertua kerana melalui Sesi Libat Urus baru-baru ini, telah meningkatkan motivasi Yang Berhormat Senator-senator untuk lebih berani dan bersemangat dalam perbahasan dalam Dewan yang mulia ini without fear or favor, dengan izin...
[Tepuk] Terima kasih juga Tan Sri Yang di-Pertua atas usaha-usaha murni Tan Sri untuk memperkasakan Dewan yang mulia ini. Terima kasih.
Soalan saya, soalan nombor 6.
6. Dato' Dr. Nelson a/l Renganathan minta Menteri Sumber Manusia menyatakan, strategi yang telah diaturkan oleh kementerian sebagai kementerian peneraju- lead ministry dalam bidang pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) bagi memperkasa dan mempromosikan TVET di negara ini.
Tuan Yang di-Pertua
Sila, Yang Berhormat Menteri.
Timbalan Menteri Sumber Manusia - Datuk Ts. Mustapha Sakmud
Terima kasih, Tan Sri Yang di-Pertua. Bismillahi Rahmani Rahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam Malaysia Madani. Terima kasih Yang Berhormat Senator Dato’ Nelson a/l Renganathan atas keprihatinan tentang isu TVET.
Tan Sri Yang di-Pertua, agenda memperkasa program pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) negara merupakan satu usaha berterusan yang memerlukan komitmen dan sinergi semua pemegang taruh terlibat. Sehubungan dengan itu, Majlis TVET Negara (MTVET) telah ditubuhkan sebagai badan tertinggi dalam membuat keputusan berkaitan hala tuju TVET negara ini.
Sejajar dengan penumpuan kerajaan terhadap bidang-bidang ekonomi baharu, MTVET turut menekankan keperluan rasionalisasi program TVET secara spesifik di setiap kementerian berkaitan. Standard dan kurikulum program TVET disemak dan ditambahbaikkan daripada masa-ke-semasa untuk memastikan program TVET kekal relevan dengan permintaan semasa dan masa hadapan.
Penjajaran semula kursus dan kurikulum dalam bidang tumpuan seperti digariskan dalam Pelan Induk Industri Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan bidang pertumbuhan yang bernilai tinggi, dengan izin, high growth high value turut sedang diberi penekanan oleh semua institusi TVET untuk memastikan graduan TVET yang dilatih kekal kompetitif untuk memasuki pasaran pekerjaan.
Tan Sri Yang di-Pertua, seterusnya, penglibatan industri dalam pelaksanaan program TVET turut dimantapkan dan diperluaskan melalui pemeteraian memorandum kerjasama bersama syarikat berkaitan kerajaan dan syarikat swasta.
Untuk makluman semua, sehingga November 2023, sebanyak 63 memorandum kerjasama telah dimeterai. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 41 memorandum kerjasama boleh dimanfaatkan merentasi 12 buah kementerian berkaitan TVET melibatkan pelbagai cakupan bidang skop kerjasama dan syarikat seperti Petronas Berhad, DRB-HICOM Berhad, FGV Holdings Berhad, Tenaga Nasional Berhad dan Bermaz Auto Berhad.
Selanjutnya, kerajaan turut memperkenalkan sistem jaminan kualiti tunggal TVET melalui pemakaian dokumen Code of Practice for TVET Programme Accreditation
(COPTPA), dengan izin, yang menggariskan skop program TVET dan standard minimum pelbagai keperluan khusus program TVET sebagai rujukan penyedia TVET.
Melangkah ke hadapan, selaras dengan strategi Rancangan Malaysia Ke-12, pangkalan data raya TVET sedang dibangunkan bagi menyelaras dan mengintegrasikan semua data berkaitan maklumat TVET secara menyeluruh merentasi kementerian. Ini penting untuk membantu kerajaan membuat keputusan yang lebih tepat.
Selain daripada itu, untuk makluman juga, Unit Pengambilan TVET (UPTVET) dibangunkan, dengan izin, single window baharu bagi tujuan permohonan kemasukan ke program TVET. Dulu tidak ada, Tan Sri. Dia lebih kurang UPU, kalau di Universiti, tetapi sekarang ini kita sudah bangunkan UPTVET ini yang terbuka kepada institusi TVET awam.
Usaha mempromosi TVET di seluruh negara dilakukan secara berterusan oleh semua kementerian dan agensi berkaitan TVET sejajar dengan aspirasi TVET sebagai game changer untuk memacu ekonomi negara. Dalam usaha menarik lebih ramai rakyat Malaysia menyertai program TVET, kerajaan memberi penekanan terhadap pelaksanaan program TVET yang fleksibel dan berbentuk jangka pendek ataupun modular, dan kita perkenalkan program micro-credential untuk pelatih mendapatkan pengiktirafan setiap pencapaian yang diperoleh.
Selanjutnya, akhirnya, Mesyuarat Majlis TVET Negara pada 5 Oktober 2023 telah memutuskan agar Dasar TVET Negara 1.0 daripada 2024 hingga 2030 akan dibangunkan bagi merencana agenda pemerkasaan TVET secara komprehensif. Sekian, terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua
Silakan, Yang Berhormat. Soalan tambahan.
Dato’ Dr. Nelson a/l Renganathan
Terima kasih, Tan Sri Yang di-Pertua. Terima kasih Yang Berhormat Timbalan Menteri. Soalan tambahan saya.
Memandangkan adanya isu pengiktirafan sijil-sijil TVET yang dikeluarkan oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran, umpamanya Diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak yang belum lagi diiktiraf oleh Persatuan Tadika Malaysia- apakah tindakan dan langkah- langkah KSM bagi memastikan bahawa sijil-sijil tersebut diberi pengiktirafan terutamanya oleh syarikat-syarikat swasta? Terima kasih.
Datuk Ts. Mustapha Sakmud
Yang Berhormat Senator, Tan Sri Yang di-Pertua, ini sebenarnya merupakan perjuangan yang agak panjang untuk supaya kita dapat memastikan bahawa bukan hanya sijil-sijil yang dikeluarkan oleh universiti mendapat pengiktirafan terutama dalam kakitangan awam tetapi juga TVET kita.
Jadi, melalui Jabatan Pembangunan Kemahiran, kita telah melibatkan sesi libat urus dengan Perkhidmatan Awam dan untuk memastikan bahawa skim-skim perkhidmatan awam yang berkaitan itu akan mengiktiraf sijil-sijil yang berkaitan dengan kemahiran.
Datuk Ts. Mustapha Sakmud
Dan melalui Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1, Tahun 2016 iaitu Rasionalisasi Skim Perkhidmatan bagi Perkhidmatan Awam secara khusus telah memperuntukkan pengiktirafan sijil dan diploma kemahiran bagi 66 skim perjawatan. Ini antara kejayaan setakat ini, tetapi agak sedih sebab Diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak ini Yang Berhormat Senator, masih belum mendapat pengiktirafan sewajarnya.
Sebagai langkah, untuk seterusnya berkaitan dengan- secara spesifik tentang isu tentang Diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak ini, pihak kementerian melalui Jabatan Pembangunan Kemahiran akan mengadakan perbincangan lanjut bersama Kementerian Pendidikan Malaysia dalam usaha membantu kelancaran syarikat-syarikat yang terlibat dalam bidang ini untuk memenuhi syarat yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia. Sekian, terima kasih.
Tan Sri Dato’ Low Kian Chuan
Soalan tambahan.
Dato’ Sivaraj a/l Chandran
Tan Sri.
Tan Sri Dato’ Low Kian Chuan
Terima kasih Tan Sri Yang di-Pertua. Soalan tambahan saya, adakah strategi terperinci untuk menggalakkan graduate sekarang untuk menyertai bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET). Apakah peratusan kebolehpasaran graduate TVET pada tahun 2021 dan 2022 masing-masing?
Terima kasih.
Datuk Ts. Mustapha Sakmud
Terima kasih atas soalan tambahan Yang Berhormat Senator. Okey, untuk- banyak sebenarnya yang kita sedang cuba lakukan sekarang ini untuk memastikan bahawa TVET ini menjadi alternatif utama untuk pelajar- pelajar melanjutkan pelajaran dan setahun, ini sebenarnya sedang giat diusahakan daripada peringkat Yang Amat Berhormat Perdana Menteri sendiri dan juga sekarang ini kita ada Majlis TVET di bawah Timbalan Perdana Menteri. Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi yang menggerakkan, memastikan bahawa TVET ini menjadi game changer kalau kita mahu negara kita ini menjadi sebuah negara maju.
Saya tidak ada statistik secara terperinci sekarang ini daripada tiga tahun yang lepas, tetapi hasil daripada lawatan saya sendiri dan juga maklumat yang diberikan oleh pegawai-pegawai kita, kebolehpasaran graduan TVET ini memang amat tinggi. Rata-rata 90 peratus sehingga 95 peratus ke atas kebolehpasaran, setiap institusi TVET itu memaklumkan bahawa graduan yang lahir daripada institusi TVET ini memang mendapat pekerjaan yang dikeluarkan yang sepadan, sepadan dengan permintaan industri.
Jadi, satu kejayaan yang besar, ini yang kita mahu pastikan bahawa TVET ini seperti yang saya sebut tadi sebagai game changer. Kalau kita mahu lihat negara ini maju dengan perkembangan teknologi dan industri yang baharu ini, kita kena pastikan bahawa TVET ini juga akan kurikulumnya praktikalnya, peralatannya, semua mengikut keperluan industri. Terima kasih Tan Sri Yang di-Pertua.
Tuan Yang di-Pertua
Terima kasih Yang Berhormat, recognition itu kena dipercepatkanlah Yang Berhormat. Kalau tidak, usaha kerajaan akan retard oleh sebab tidak diterima pakai. Yang Berhormat Dato' Ahmad bin Dato' Sri Haji Ibrahim.
7. Dato' Ahmad bin Dato' Sri Haji Ibrahim minta Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi menyatakan, apa mekanisme kementerian dalam membantu Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) menangani masalah modal kerja, modal pusingan dan pembiayaan kewangan.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi - Puan Saraswathy a/p Kandasami
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, terima kasih Yang Berhormat Senator atas soalan. Untuk maklumat Ahli Yang Berhormat, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melalui agensi-agensinya menyediakan pelbagai kemudahan pembiayaan kepada Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).
Bagi membantu usahawan PMKS yang menghadapi masalah kewangan melibatkan modal kerja, modal pusingan dan pembiayaan kewangan, tindakan yang diambil oleh kementerian melalui agensi-agensi adalah seperti berikut. TEKUN Nasional menyediakan pembiayaan TEKUN Niaga kepada usaha mikro dengan nilai pembiayaan di antara RM1,000 sehingga RM100,000. Amanah Ikhtiar Malaysia menyediakan pembiayaan Skim Pembiayaan Ikhtiar kepada usahawan mikro dan informal dengan nilai pembiayaan di antara RM3,000 sehingga RM30,000.
SME Bank menawarkan pelbagai program pembiayaan kepada usahawan PMKS meliputi perniagaan permulaan iaitu start-up perkembangan- growth, dan matang- maturity kepada usahawan PMKS dengan nilai pembiayaan di antara RM100,000 hingga RM5 juta. Bank Rakyat menyediakan pelbagai program pembiayaan kepada usahawan PMKS, antaranya seperti Skim Pembiayaan BRPLUS-i dan Skim Pembiayaan BizLady dengan nilai pembiayaan antara RM5,000 sehingga RM1 juta.
PERNAS menyediakan sokongan pembiayaan kepada usahawan francais melalui projek Be Your Own Boss atau BYOB dan Business in Transformation (BIT) dengan nilai pembiayaan sehingga RM500,000.
Selain itu, SME, TEKUN Nasional, PERNAS dan Bank Rakyat juga menyediakan bantuan bagi membantu usahawan yang terjejas melalui penjadualan dan penstrukturan semula pinjaman dengan melanjutkan tempoh pembiayaan pada kadar bayaran balik yang berpatutan. Sekian, terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua
Soalan tambahan, silakan Yang Berhormat.
Dato' Ahmad bin Dato' Sri Haji Ibrahim
Tan Sri, terima kasih. Terima kasih Yang Berhormat Timbalan Menteri. Cuma apa yang dikhuatiri ialah syarat-syarat yang dikenakan oleh institusi kewangan kadangkala terlalu rumit dan menyusahkan ini termasuk kerenah birokrasi dan juga dokumentasi. Apa jalan penyelesaian daripada pihak kerajaan dan kementerian supaya dapat membantu Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) boleh bertahan dan maju? Terima kasih.
Puan Saraswathy a/p Kandasami
Terima kasih Ahli Yang Berhormat. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, syarat-syarat yang dikenakan oleh agensi-agensi yang memberi pembiayaan adalah tertakluk kepada syarat-syarat yang telah pun- sekiranya ia bank. Saya bagi contoh ya, seperti SME Bank ataupun Bank Rakyat. Syarat-syarat adalah ditetapkan oleh Bank Negara.
Jadi, mereka sebagai sebuah institusi perbankan tertakluk kepada syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh Bank Negara, tetapi saya boleh memberi sedikit penjelasan atas persoalan tadi sebagai contoh, TEKUN Nasional telah mengurangkan keperluan dokumentasi daripada 17 buah dokumen kepada hanya empat dokumen sahaja bagi Skim Pembiayaan TEKUN. Tempoh kelulusan pembiayaan juga telah dikurangkan kepada tujuh hari berbanding kepada 21 hari bekerja serta urusan penyaluran peruntukan dilaksanakan dalam tempoh tiga hari bekerja.
SME Bank telah memproses permohonan secara purata dalam tempoh 21 hari bekerja berbanding dengan 30 hari bekerja. Ini tempoh pemprosesan dokumen, tetapi daripada segi kehendak ataupun syarat yang dikenakan, SME Bank tertakluk kepada syarat-syarat yang dikenakan oleh Bank Negara.
Bagi AIM, dokumentasi yang diperlukan telah pun dipermudahkan. Jadi, secara ringkas saya boleh katakan, apa syarat yang dikenakan terpulang kepada agensi-agensi berkenaan, sama ada mereka diregulasikan oleh akta ataupun perundangan yang berlainan. Terima kasih.
Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai
Soalan tambahan?
Tuan Yang di-Pertua
Ya Datuk.
Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, terima kasih kepada Yang Berhormat Timbalan Menteri penjelasan yang telah diberikan.
Soalan tambahan saya ialah bagaimana kementerian memastikan program- program pembangunan keusahawanan yang dilaksanakan di bawah payung besar kementerian itu sentiasa menekankan penyelidikan, pembangunan dan memastikan usahawan baharu sedia ada mendapat manfaat. Soalan saya ialah, bagaimanakah manfaat itu adalah seiring dengan peredaran persekitaran pasaran yang sentiasa berubah? Terima kasih.
Puan Saraswathy a/p Kandasami
Terima kasih atas soalan tadi. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, di bawah KUSKOP terdapat 10 buah agensi yang melaksanakan Program Pembangunan Usahawan, tetapi pada keseluruhannya terdapat 13 Kementerian, 50 buah agensi Persekutuan, dan 10 - kerajaan negeri yang melaksanakan program-program pembangunan keusahawanan. Jadi, SME Corp Malaysia selaku agensi penyelaras pusat telah melaksanakan pemantauan dan penilaian program-program pembangunan PMKS sejak tahun 2006 ke atas semua agensi dan semua agensi pelaksanaan program PMKS.
Dengan memberi penekanan kepada mekanisme pemantauan holistik bagi mengukur impak program yang dijalankan iaitu dengan memberi penekanan kepada peringkat impact analysis framework for SME development iaitu penilaian ke atas program keusahawanan dan pembangunan PMKS berdasarkan kepada output, outcome dan perbelanjaan.
Majlis Pembangunan Usahawan dan PMKS Kebangsaan yang dipengerusikan oleh Yang Amat Berhormat Timbalan Perdana Menteri berperanan menetapkan hala tuju serta dasar pembangunan usahawan dan PMKS secara menyeluruh merentasi semua sektor ekonomi. Majlis Pembangunan Keusahawanan Nasional iaitu MPKN yang dipengerusikan oleh Yang Berhormat Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi bagi menyelaras hala tuju pembangunan keusahawanan dan pelaksanaan inisiatif di antara Kerajaan Persekutuan dan negeri supaya lebih terancang dan strategik. Sekian, terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua
Terima kasih.
Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai
Memohon maaf Tuan Yang di-Pertua.
Tuan Yang di-Pertua
Yang Berhormat Haji Mustafa bin Musa.
Datuk Haji Mustafa bin Musa
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, terima kasih Tan Sri Yang di-Pertua, soalan saya nombor 8.
8. Datuk Haji Mustafa bin Musa minta Menteri Kewangan menyatakan, mekanisme pemberian Sumbangan Tunai Rahmah (STR) 2024 dan sejauh mana sasaran kerajaan agar skim ini akan meringankan beban kumpulan B40 serta mengurangkan kesan kenaikan kos sara hidup.
Timbalan Menteri Kewangan - Datuk Seri Haji Ahmad bin Haji Maslan
Tan Sri Yang di-Pertua, terima kasih kepada Datuk Haji Mustafa bin Musa.
Indah sinaran di hutan simpan, Waktu pagi alam maya; Kepada soalan nombor lapan, Dengarkan ini jawapannya. Untuk makluman Yang Berhormat, pada tahun 2024 tahun depan sebanyak RM10 bilion disediakan untuk Program Sumbangan Tunai Rahmah (STR) bagi memanfaatkan hampir 9 juta orang penerima. Program ini merupakan bantuan kerajaan pada golongan berpendapatan rendah serta sederhana yang benar-benar berkelayakan dan memerlukan bagi mendepani cabaran kos sara hidup.
Mekanisme pemberian STR adalah secara terus kepada penerima melalui dua kaedah iaitu:
(i) dikreditkan terus ke akaun bank penerima yang didaftarkan dalam pangkalan data STR; dan
(ii) penerima tiada akaun bank akan menerima bayaran secara tunai di cawangan BSN seluruh negara. Bagi penerima kawasan di pedalaman Sabah dan Sarawak yang tidak mempunyai akaun bank pula, kaedah pembayaran adalah secara tunai yang diselaraskan oleh Perbendaharaan Malaysia Sabah dan Perbendaharaan Malaysia Sarawak.
Untuk makluman STR merupakan bantuan tunai tertinggi dalam sejarah yang pernah diberikan. Di mana kerajaan sentiasa cakna dengan perkembangan semasa terutamanya melibatkan situasi ekonomi dan kos sara hidup rakyat. Kerajaan juga mengambil berat ke atas golongan B40 yang benar-benar terkesan. Program STR atau mana-mana program bantuan bersifat tunai dan tanpa tunai akan memberi impak yang tinggi kepada golongan B40 dan juga untuk merancakkan ekonomi melalui aktiviti perbelanjaan. Oleh itu, STR ini membantu rakyat dan mengembangkan ekonomi setempat.
Kerajaan melihat aspek kitaran ekonomi ke atas peniaga kecil atau PKS yang mengalami kesan perbelanjaan daripada golongan B40 ini. STR berkenaan bukan sahaja bagi membantu golongan B40 malah juga kesan gandaan pada industri dan perniagaan yang berkenaan.
Sebagaimana yang diperkenalkan pada tahun ini, Sumbangan Asas Rahmah
(SARA), tadi STR yang ini SARA, dia berbeza. Bertujuan menyediakan bantuan tanpa tunai melalui kad pengenalan kepada penerima STR kategori miskin tegar untuk mendapatkan keperluan asas terutamanya makanan. SARA merupakan satu bentuk bantuan kerajaan yang menjamin keperluan asas golongan miskin tegar.
Bagi tahun 2023, sebanyak RM100 disediakan pada setiap bulan selama enam bulan melalui kad pengenalan bagi mereka untuk mendapatkan keperluan asas di pasar raya yang tertentu di kawasan masing-masing. Bagi tahun 2024, kerajaan bersetuju untuk memperluaskan SARA kepada penerima STR kategori miskin sekitar 700,000 orang penerima dan melanjutkan perbelanjaan RM100 setiap bulan dan enam bulan kepada 12 bulan. Terima kasih.
Datuk Haji Mustafa bin Musa
Tan Sri Yang di-Pertua, tahniahlah kepada kerajaan yang begitu cakna dalam pembelaan nasib rakyat. Cumanya soalan tambahan saya, selain daripada khairat kematian, selain daripada khairat kematian bagi Skim Tunai Rahmah 2024, sejauh manakah kerajaan meneruskan bayaran berfasa yang berbaki kepada penerima yang telah meninggal dunia dan masih mempunyai bayaran yang belum diberikan kepada mereka? Terima kasih.
Datuk Seri Haji Ahmad bin Haji Maslan
Tan Sri Yang di-Pertua, mereka yang mendapat STR ini jika meninggal dunia akan diberi khairat kematian RM1,000. Sama ada suaminya meninggal atau isteri yang meninggal dunia akan dapat RM1,000. Jika dua-dua meninggal RM2,000 untuk waris.
Perkara ini tidak sukar, hanya pergi ke BSN atau Lembaga Hasil untuk pengesahan dengan membawa sijil kematian dan juga pengenalan diri bahawa mereka sah waris kepada si mati. Itu perkaranya. Kita akan mempercepatkan segalanya supaya ia boleh diserahkan kepada mereka yang- waris yang meninggal dunia. RM1,000 Sumbangan Tunai Rahmah kepada keluarga yang bujang, tidak. Yang khairat kematian ini kepada yang berkeluarga. Terima kasih.
Datuk Seri Hajah Zurainah binti Musa
Soalan tambahan Tan Sri, soalan tambahan.
Tuan Yang di-Pertua
Dato’, sudah dua kali berdiri.
Dato’ Ajis bin Sitin
Tuan Yang di-Pertua.
Tuan Yang di-Pertua
Ya
Dato’ Ajis bin Sitin
Okey, terima kasih Tan Sri. Soalan tambahan saya ialah apakah penyelesaian kerajaan berkaitan dengan kenaikan harga beras yang sangat drastik daripada RM26 kepada RM47 untuk pek 10 kilogram sebagai contoh? Apakah usaha-usaha kerajaan untuk menurunkan harga tersebut? Kami Masyarakat Orang Asli sangat terkesan dengan kenaikan tersebut. Terima kasih.
Datuk Seri Haji Ahmad bin Haji Maslan
Jauh betul tersasarnya...
[Ketawa] Dato’ Ajis, itu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, tetapi saya jawablah ya.
Dato’ Ajis bin Sitin
Soalannya kos sara hidup Tan Sri Yang di-Pertua.
Datuk Seri Haji Ahmad bin Haji Maslan
Soalannya STR- Sumbangan Tunai Rahmah
Dato’ Ajis bin Sitin
Soalannya kos sara juga disebut soalan asal, soalan asal.
Datuk Seri Haji Ahmad bin Haji Maslan
Okey, tidak apa.
Tuan Yang di-Pertua
Kalau tiada jawapan Yang Berhormat, tidak apalah.
Datuk Seri Haji Ahmad bin Haji Maslan
Yang saya...
Tuan Yang di-Pertua
Nanti jawapan salah, nanti payah.
Datuk Seri Haji Ahmad bin Haji Maslan
Yang saya maklumlah mengenai harga beras ini ia berpunca kerana beberapa buah negara telah mengurangkan eksport beras kepada negara kita, maka beras import naik harga. Apabila beras import naik harga, maka rakyat membeli beras putih tempatan. Apabila ramai yang membeli beras putih tempatan, maka beras itu berkurangan. Walau bagaimanapun, kerajaan telah memberikan satu subsidi yang agak besar untuk memastikan beras putih tempatan itu dikeluarkan secukupnya.
Baru ini saya pergi ke dua buah pasar raya di kawasan saya satu di Benut, satu di Bandar Pontian. Saya ingin mengakui bahawa beras putih tempatan itu amat kurang.
Jadi saya harap Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup akan memastikan bekalan beras tempatan itu bertambah. Terima kasih.
Datuk Seri Hajah Zurainah binti Musa
Soalan saya berkaitan Tan Sri Yang di- Pertua.
Tuan Yang di-Pertua
Yang Berhormat, saya dah bagi itu tadi. Dua kali, dua soalan tambahan sahaja...
[Ketawa] Tuan Aknan a/l Ehtook.
Tuan Aknan a/l Ehtook
Terima kasih Tan Sri. Soalan saya nombor 9.
9. Tuan Aknan a/l Ehtook minta Menteri Komunikasi dan Digital menyatakan, kemajuan pelaksanaan projek JENDELA dan sejauh manakah kawasan-kawasan yang masih menunggu untuk mendapatkan perkhidmatan yang berkualiti seperti negeri-negeri di Kedah dan Kelantan dan kawasan-kawasan memerlukan penggunaan satelit seperti di Sabah dan Sarawak telah memperoleh kualiti perkhidmatan seperti yang disasarkan oleh projek JENDELA ini.
Menteri Komunikasi dan Digital - Tuan Ahmad Fahmi bin Mohamed Fadzil
Terima kasih Tan Sri Yang di-Pertua. Terima kasih Yang Berhormat Senator. Saya ingatkan.
Tuan Yang di-Pertua
Saya kena bagi peluang dengan Menteri menjawab soalan yang akhir ini.
Tuan Ahmad Fahmi bin Mohamed Fadzil
[Ketawa]
Tuan Yang di-Pertua
Jam dah 11.30.
Tuan Ahmad Fahmi bin Mohamed Fadzil
Baik. Terima kasih Tan Sri Yang di- Pertua. Terima kasih Yang Berhormat Senator.
Di bawah inisiatif Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA), setakat suku ketiga 2023 sebanyak 2,142 buah menara baharu telah siap dan beroperasi dari 3,884 yang dirancang. Sebanyak 39,935 buah stesen pemancar telah siap dinaiktarafkan dari 40,214 yang dirancang dan 3.25 juta- premis telah tersedia dengan rangkaian gentian optik dari 4.19 juta yang dirancang. Kesemua projek ini dijangka siap dan akan beroperasi secara berperingkat menjelang penghujung 2025.
Selain itu, penyediaan jalur lebar menggunakan teknologi satelit ataupun broadband wireless access (BWA) telah siap sepenuhnya di 839 buah lokasi di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak serta perkampungan Orang Asli di seluruh negara. Kadar liputan bagi perkhidmatan 4G di kawasan berpenduduk di seluruh negara setakat suku ketiga 2023 telah mencapai 97.03 peratus. Manakala bagi kadar liputan perkhidmatan 4G di kawasan berpenduduk di Kedah telah mencapai 98.91 peratus, Kelantan 96.68 peratus, Sabah 90.54 peratus dan Sarawak 87.65 peratus.
Penting saya sebut di sini kawasan berpenduduk bermaksud tempat yang berpenghuni, bukan kawasan-kawasan seperti jalan yang mungkin di lingkungan satu kilometer itu tidak ada kawasan berpenduduk kerana ramai yang mengadu memang kawasan kampung ada internet ataupun ada line, tapi jalan-jalan tak ada. Ini salah satu perkara yang kita sedang cuba untuk atasi.
Bagi kawasan berpenduduk yang belum mendapat liputan ini merupakan kawasan yang mana kedudukan lokasi adalah mencabar daripada segi akses geografi, elektrik dan kepadatan penduduk yang agak rendah. MCMC sedang merangka kaedah yang paling sesuai untuk satu-satu kawasan itu termasuk sambungan menggunakan teknologi satelit.
Tan Sri Yang di-Pertua, kerajaan melalui KKD turut melaksanakan penyediaan infrastruktur jalur lebar menggunakan kaedah point of presence (PoP) hab gentian optik.
Projek ini melibatkan penyediaan infrastruktur gentian optik berhampiran sekolah dan dapat dinikmati oleh premis kediaman, premis industri dan premis perniagaan yang terletak di sekitar sekolah tersebut. Projek PoP ini dijadualkan siap sepenuhnya insya- Allah menjelang tahun 2025.
Secara keseluruhannya, Fasa 1 bagi projek PoP melibatkan 630 buah lokasi berhampiran sekolah dan Fasa 2 pula akan melibatkan 3,693 buah lokasi berhampiran sekolah di kawasan luar bandar seluruh negara. Sehingga 24 November 2023, 599 buah kawasan PoP Fasa 1 dan 143 PoP Fasa 2 telah berjaya disiapkan dengan menyediakan sebanyak 99,590 buah premis sedia untuk dilanggan dan menikmati perkhidmatan internet berkelajuan tinggi. Projek PoP ini dijadualkan siap insya-Allah menjelang 2025.
Kerjasama erat di antara pemegang taruh serta kerajaan negeri adalah sangat diperlukan agar semua perancangan dapat disiapkan pada kadar segera dan rakyat dapat menikmati peningkatan taraf hidup yang lebih baik dan lebih cepat. Dalam hal ini, KKD telah membentangkan kertas dalam Mesyuarat Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan
(MNKT) Ke-81 pada 2 November yang lalu dan seterusnya akan dibawa dalam mesyuarat Menteri-Menteri Besar dan Ketua-Ketua Menteri bagi memastikan segala perancangan berjalan lancar. Sekian, terima kasih.
Tuan Aknan a/l Ehtook
Soalan tambahan satu.
Tuan Yang di-Pertua
Terima kasih. Sila Yang Berhormat.
Tuan Aknan a/l Ehtook
Terima kasih Tan Sri. Yang Berhormat Menteri, sebelum ini kita bercakap tentang perkongsian menara, tapi of late sejak bulan Mei, bulan Jun, Menteri bercakap tentang perkongsian rangkaian dengan Sarawak sebagai model. Jadi saya nak tanya, apakah kemajuan inisiatif ini dan apakah kuasa yang ada pada Menteri untuk memaksa syarikat telekomunikasi untuk akur kepada arahan Yang Berhormat Menteri? Terima kasih.
Tuan Ahmad Fahmi bin Mohamed Fadzil
Baik. Terima kasih. Ya, alhamdulillah, kita telah mengumumkan sewaktu saya menjawab peringkat dasar bagi Rang Undang- undang Perbekalan 2024, bahawa pihak kementerian telah mencapai satu persetujuan bersama dengan- melalui MCMC dan syarikat-syarikat telekomunikasi untuk membantu menyelesaikan masalah “menara tidak berkuali” di negeri Sarawak yang melibatkan 600 buah menara di bawah Sarawak Multimedia Authority (SMA), dengan izin.
Ia menelan belanja yang agak besar, tapi yang penting di sini, kita telah membuktikan bahawa kerjasama antara MCMC dan syarikat-syarikat telekomunikasi ini boleh kita capai. Dia cuma perlu perbincangan, dibawa ke meja perundingan sebelum dikeluarkan apa-apa arahan. Jadi ini satu bentuk model yang saya harap dapat kita guna di negeri-negeri yang lain.
Pada masa yang sama MCMC juga dan KKD meneliti beberapa teknologi yang baharu selain daripada internet melalui satelit.
Untuk makluman Tan Sri Yang di-Pertua dan juga Dewan yang mulia ini, ada beberapa teknologi baharu yang sedang dirangka yang menggunakan satellite as cell tower, dengan izin, yang mana sekiranya dalam tahun-tahun yang akan datang ini, lebih kurang dua tahun lebih, ada beberapa buah syarikat yang sedang meneliti, penggunaan teknologi satelit sebagai menara telekomunikasi.
Jadi ini sedang dalam penelitian dan sekiranya dapat dilaksanakan dengan kerjasama syarikat-syarikat telco, insya-Allah dasar “di mana ada jalan di situ ada internet” akan dapat kita selesaikan dan laksana dengan baik. Terima kasih.
Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai
Soalan tambahan, Tan Sri Yang di-Pertua.
Tuan Yang di-Pertua
Soalan yang kedua itu bukan, Yang Berhormat?
Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai
Yang pertama sahaja tadi.
Tuan Yang di-Pertua
Tuan...
Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai
Satu pun tak dapat.
Tuan Yang di-Pertua
...Jaziri Alkaf Abdillah Suffian.
Tuan Jaziri Alkaf Abdillah Suffian
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh Tan Sri Yang di-Pertua. Soalan saya nombor 10. Terima kasih.
10. Tuan Jaziri Alkaf Abdillah Suffian minta Menteri Ekonomi menyatakan, bagaimanakah kerajaan memastikan agenda Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dapat diterapkan di semua peringkat kerajaan yang terlibat.
Timbalan Menteri Ekonomi - Dato Hajjah Hanifah Hajar Taib
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera Tan Sri Yang di- Pertua.
Matlamat pembangunan mampan ataupun Sustainable Development Goal (SDG) bertujuan antara lainnya untuk menamatkan semua bentuk kemiskinan, memerangi ketidaksamaan dan mengatasi perubahan iklim dengan memastikan tiada siapa yang akan tertinggal. Dalam memastikan kejayaan pelaksana SDG bagi mencapai sasaran yang ditetapkan, kerajaan mengambil pendekatan keseluruhan negara yang melibatkan agensi kerajaan, industri serta komuniti tempatan.
Antara langkah-langkah yang telah dan sedang diambil oleh kerajaan bagi memastikan pelaksanaan SDG dapat diterapkan di semua peringkat kerajaan yang terlibat adalah seperti berikut.
Pertama, mewujudkan tadbir urus SDG yang komprehensif, struktur tadbir urus yang tertinggi iaitu Majlis SDG Negara dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri dalam menetapkan hala tuju, pelaksanaan dan sasaran SDG kebangsaan. Majlis SDG Negara disokong oleh jawatankuasa pemandu dan jawatankuasa teknikal.
Selain itu, keseluruhan tadbir urus ini turut disokong oleh tujuh buah Jawatankuasa Kerja bagi menyelaras perancangan, pelaksanaan dan pemantauan 17 SDG di Malaysia. Mekanisme tadbir urus ini dianggotai oleh pelbagai pihak seperti wakil kementerian dan agensi Persekutuan, kerajaan negeri, Ahli Parlimen, pihak swasta, ahli akademik dan pertubuhan syarikat sivil.
Kedua, menubuhkan pusat SDG negara di bawah Kementerian Ekonomi yang bertanggungjawab untuk memperkasa dan mempergiat program-program kegiatan SDG serta memantau kemajuan pelaksanaan SDG di Malaysia. Pusat SDG negara ini juga berperanan menjadi, dengan izin, focal point dan pelaksanaan SDG termasuk merancang dan menyelaras usaha pelaksanaan SDG di peringkat tempatan atau, dengan izin, localisation.
Ketiga, membangunkan sistem pemantauan SDG ataupun SDG Dashboard, dengan izin, bagi mengumpul data berkaitan pencapaian setiap indicator SDG daripada pelbagai kementerian dan jabatan berkaitan.
Bagi tujuan ini, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) telah dipertanggungjawabkan untuk menyelaras pengumpulan data dan menyediakan laporan penilaian SDG secara berkala. Beberapa keputusan telah dipersetujui semasa mesyuarat Majlis SDG negara pada 7 November 2023 yang lalu bagi memperkemaskan, mempercepat pencapaian agenda pembangunan mampan negara selaras dengan Agenda 2030 bagi pembangunan mampan di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu- PBB atau United Nations. Antara perkara yang diputuskan adalah:
Pertama, menetapkan kementerian peneraju bagi setiap SDG untuk menyelaras gerak kerja bagi mencapai sasaran setiap SDG yang ditetapkan.
Timbalan Menteri Ekonomi - Dato Hajjah Hanifah Hajar Taib
Kementerian Peneraju ini dikehendaki melaporkan kemajuan matlamat masing- masing pada setiap suku tahun, di mana laporan pertama perlu dibuat pada suku pertama 2024. Sebagai contoh bagi SDG 10, mengurangkan ketidaksamaan akan diterajui oleh Kementerian Kewangan.
Kedua, penetapan 215 indikator berserta sasaran kebangsaan dan sembilan inisiatif mempercepatkan pelaksanaan atau, dengan izin, accelerator initiatives SDG Kebangsaan.
Ketiga, penjajaran agenda SDG dalam semua wacana dan program anjuran kementerian dan agensi bagi memastikan pencapaian sasaran matlamat yang telah ditetapkan.
Kerajaan komited untuk mencapai Agenda 2030 dan terus memperkukuhkan tindakan bagi mencapai 17 SDG. Komitmen daripada semua pihak, termasuk Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan dan pihak berkepentingan yang lain adalah penting untuk memastikan Malaysia menjadi sebuah negara mampan menjelang 2030. Sekian, terima kasih.
Tuan Jaziri Alkaf Abdillah Suffian
Soalan tambahan, Tuan Yang di-Pertua.
Tuan Yang di-Pertua
Sila Yang Berhormat.
Tuan Jaziri Alkaf Abdillah Suffian
Terima kasih YB Timbalan Menteri atas jawapan. Soalan saya, bajet responsif gender. Adakah kementerian mempunyai perancangan untuk mengutamakan budget based- budget responsive- budget based budgeting dalam mencapai matlamat SDG memandangkan gender gap in budget allocation, dengan izin Tan Sri Yang di-Pertua, masih ada kelompangan. So, maksudnya dalam isu income wanita atau wanita muda, health dan education dan selainnya? Terima kasih.
Dato Hajjah Hanifah Hajar Taib
Insya-Allah kita akan mengutamakan soalan itu tetapi alhamdulillah, oleh sebab kita mendapatkan jawatankuasa tertentu dan peneraju- peneraju bagi setiap kementerian, ini satu perkara yang insya-Allah, kita akan melihat dalam perkara yang tersebut. Terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua
Oleh sebab masa sebenarnya patut 42, tetapi saya hendak soalan yang ke-11. Jawab.
Tuan Abun Sui Anyit
Terima kasih Yang di-Pertua, soalan saya nombor 11.
11. Tuan Abun Sui Anyit minta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri menyatakan, tindakan-tindakan yang dilakukan oleh kementerian supaya perjanjian pelaburan yang dibuat kepada kerajaan tidak terjejas oleh kesan-kesan peperangan di antara Hamas dengan Israel.
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri - Tuan Liew Chin Tong
Terima kasih Tan Sri yang memberi peluang saya untuk jawab soalan ini...
[Ketawa]
Tuan Yang di-Pertua
Lama menunggu itu. Kesian tengok itu.
Tuan Liew Chin Tong
Terima kasih Yang Berhormat Senator Tuan Abun Sui Anyit, berkenaan soalan tentang keadaan antarabangsa dan apa berkenaan dengan keadaan ekonomi kita.
Kerajaan sentiasa meletakkan keutamaan yang tinggi dalam memastikan komitmen pelaburan yang dicadangkan dapat diluluskan dan dilaksanakan dengan segera untuk mempercepatkan kesan limpahan ekonomi kepada rakyat dan negara. Daripada segi pendirian negara, seperti semua sedia maklum, Malaysia tidak menjalin sebarang hubungan diplomatik dengan Israel mahupun hubungan ekonomi dan perdagangan secara langsung. Daripada segi pelaburan langsung asing (FDI), tiada sebarang pelaburan dari Israel atau Palestin yang berada di Malaysia.
Meskipun Malaysia tidak mempunyai pendirian yang sama dengan negara asal pelabur, Malaysia memiliki beberapa kelebihan tersendiri yang membantu mengekalkan kedudukan negara sebagai destinasi pilihan pelabur global. Kedudukan geografi Malaysia yang strategik di Asia Tenggara iaitu di antara India dan China membolehkan pelabur memanfaatkan akses pasaran yang luas dan ekosistem pelaburan yang kukuh serta menikmati kesediaan persekitaran perniagaan yang kondusif. Lazimnya, keputusan pelaburan sesebuah syarikat ditentukan oleh kumpulan pengurusan atau lembaga pengarah mereka mengikut perancangan dan juga model- business model mereka serta analisa risiko ekonomi dan politik yang dijalankan oleh syarikat tersebut.
Tan Sri Yang di-Pertua, pada masa ini pasca pandemik dan ketegangan politik global, syarikat-syarikat, terutamanya syarikat multinasional lebih cenderung untuk mempelbagaikan dan mengurangkan risiko, derisking rantaian bekalan dengan tujuan membina rantaian bekalan yang lebih stabil dan lebih selamat, dengan izinnya, supply chain resilience. Oleh itu, Malaysia harus mengambil peluang ini untuk menjadi pemain penting dalam rantaian bekalan serantau dan global. Malaysia mempunyai kekuatan yang tersendiri bagi menarik pelaburan ke negara ini, dengan izin, we are at indispensable middle dalam vertical supply chain global. Antara faktor-faktor yang mengekalkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pilihan pelabur. Dalam mendepani landskap ekonomi yang dinamik dan sensitif dengan pergolakan geopolitik global, kerajaan terus giat menggembleng usaha merangka dasar dan melancarkan strategi yang dapat memperkukuhkan ekosistem pelaburan negara.
Terima kasih.
Tuan Abun Sui Anyit
Soalan tambahan, Tan Sri di-Pertua.
Tuan Yang di-Pertua
Baik Yang Berhormat, satu soalan tambahan sahaja.
Tuan Abun Sui Anyit
Okey. Apakah langkah-langkah awal yang diambil oleh kerajaan supaya pelabur-pelabur dari negara-negara yang pro-Israel dalam konflik di Tebing Gaza tidak menghentikan pelaburan mereka ke Malaysia?
Tuan Liew Chin Tong
Sebenarnya program-program dan juga hubungan ataupun mesyuarat di antara Malaysia dengan semua negara, bahkan mereka yang menyokong Israel atau mereka yang menyokong Palestin masih diteruskan dan akan diteruskan. Seperti contoh, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri bertemu dengan beberapa syarikat- tokoh-tokoh syarikat besar di Amerika Syarikat baharu-baharu ini dan juga dapat meraih pelaburan komited bernilai RM63 bilion- baru-baru ini serta potensi eksport berjumlah RM2.78 bilion.
Maka, sebenarnya kita ambil dasar ekonomi kita dan sebenarnya dasar luar negara kita ialah kita merupakan sebuah negara yang non align dan kita tidak memilih sesiapa, kita jadi destinasi pelaburan untuk semua. Terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua
Terima kasih Yang Berhormat. Ahli-ahli Yang Berhormat, sekian sahaja sesi soalan jawab lisan pada pagi ini. Saya mengucapkan terima kasihlah pada Menteri, jawapan itu penting kepada negara. Sila Yang Berhormat.
[Masa Pertanyaan-pertanyaan bagi Jawab Lisan tamat]
Timbalan Menteri Kewangan - Tuan Sim Chee Keong
Tuan Yang di-Pertua, saya mohon mencadangkan suatu akta untuk membuat peruntukan tentang kebertanggungjawaban tadbir urus dan ketelusan kerajaan dalam menguruskan kewangan awam dan risiko fiskal, khususnya berhubung dengan hasil perbelanjaan, pinjaman dan hutang, melaporkan dokumen belanjawan tahunan dan penerbitan dokumen lain dan untuk mengadakan perkara lain yang berkaitan dengan dia.
Tan Sri Yang di-Pertua, dalam usaha memacu ekonomi negara, terdapat keperluan untuk mengimbang antara pelaksanaan agenda pembangunan negara dengan usaha mengekalkan kemapanan kewangan kerajaan dalam jangka masa sederhana dan panjang. Bagi mencapai maksud ini, adalah penting untuk meningkatkan disiplin dan melaksanakan kebertanggungjawaban dalam pengurusan kewangan awam. Usaha ini amat penting bagi memastikan kewangan awam kekal kukuh dan meningkatkan kecekapan dalam pengurusan fiskal negara supaya peruntukan yang mencukupi dapat disediakan, seterusnya memberi impak yang optimum kepada rakyat.
[Timbalan Yang di-Pertua mempengerusikan Mesyuarat] Dalam masa yang sama, usaha turut dipertingkatkan bagi menangani isu berkaitan ketirisan, pembaziran, penyelewengan dan kelemahan tata kelola dalam pengurusan wang awam yang akhirnya merugikan dana negara. Antara inisiatif yang boleh dilaksanakan iaitu menambah baik struktur institusi dan tadbir urus, ketelusan pelaporan dan keberkesanan pengurusan risiko melalui pembaharuan fiskal yang lebih bertanggungjawab dan progresif. Tuan Yang di-Pertua, sejak tahun 2017, Kementerian Kewangan telah meneroka langkah-langkah untuk menambah baik pengurusan kewangan awam melalui peningkatan disiplin fiskal, keberkesanan perbelanjaan dan ketelusan dalam pelaporan.
Pengenalan undang-undang tanggungjawab fiskal merupakan antara inisiatif pembaharuan fiskal yang utama bagi memastikan kemapanan fiskal Kerajaan Persekutuan dengan menekan kepada prinsip kebertanggungjawaban dalam melaksanakan pengurusan fiskal. Undang-undang berkaitan tanggungjawab fiskal juga telah diperkenalkan oleh kebanyakan negara seperti New Zealand, Australia, United Kingdom, Brazil, Chile, Ireland, Nigeria, India dan Thailand.
Timbalan Menteri Kewangan - Tuan Sim Chee Keong
Selaras dengan amalan terbaik di peringkat antarabangsa ini, kerajaan telah mengumumkan cadangan untuk memperkenalkan Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal (FRA) dalam Belanjawan 2019.
Tuan Yang di-Pertua, pada masa ini, terdapat beberapa perundangan yang diguna pakai dalam tadbir urus pengurusan fiskal negara. Akta Tatacara Kewangan 1957 merupakan akta utama dalam pengurusan kewangan negara. Walau bagaimanapun, akta ini lebih tertumpu kepada prosedur dan tatacara pengurusan kewangan awam dan tidak menyentuh tentang kebertanggungjawaban dan ketelusan dalam rangka dasar fiskal negara.
Oleh itu, penggubalan Rang Undang-undang Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal akan melengkapi Akta Tatacara Kewangan 1957 ini serta menjadi tambahan kepada, dan tidak mengurangkan, peruntukan undang-undang bertulis yang berkaitan.
Tuan Yang di-Pertua, akta yang dicadangkan ini dirangka berteraskan prinsip tadbir urus- governance, kebertanggungjawaban- accountability dan ketelusan- transparency dalam menyokong usaha meningkatkan tatakelola dan kecekapan pengurusan kewangan awam mengikut piawaian, peraturan dan prosedur terbaik yang selari dengan amalan terbaik di peringkat antarabangsa.
Saya memohon untuk menghurai setiap bahagian di dalam Rang Undang-undang Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal yang mempunyai 38 fasal yang dikategorikan kepada enam bahagian berserta dua jadual seperti berikut.
Bahagian I mengandungi tajuk ringkas iaitu Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023, permulaan tarikh kuat kuasa yang akan ditetapkan oleh Menteri Kewangan melalui pewartaan, pemakaian akta yang dicadangkan ini hanya kepada Kerajaan Persekutuan dan entiti Kerajaan Persekutuan serta tafsiran bagi perkataan “tertentu”. Akta yang dicadangkan ini juga hendaklah dibaca bersama-sama dengan undang-undang bertulis yang berkaitan.
Bahagian II mengandungi elemen prinsip pengurusan fiskal iaitu kebertanggungjawaban, ketelusan dan kesaksamaan antara generasi serta prinsip pengurusan fiskal yang bertanggungjawab seperti berikut:
(i) memastikan kestabilan makroekonomi;
(ii) mencapai dan mengekalkan kemapanan baki fiskal;
(iii) mencapai dan mengekalkan tahap hutang yang berhemat; dan
(iv) memastikan pengurusan risiko fiskal yang berkesan.
Semua prinsip di atas akan diterjemahkan dalam bentuk objektif fiskal dan nilai kuantiti meliputi sasaran tahunan dan jangka masa sederhana antara tiga hingga lima tahun yang ingin dicapai oleh kerajaan seperti yang termaktub dalam Jadual Pertama akta ini.
Bahagian III, Tuan Yang di-Pertua, mengandungi klausa berkaitan penggubalan dasar hasil, perbelanjaan awam, pengurusan pinjaman dan hutang serta pengurusan risiko fiskal. Secara umumnya, komponen-komponen ini mengandungi klausa-klausa berikut.
Penggal 1 menggariskan bahawa penggubalan dasar hasil adalah berasaskan prinsip kecekapan, keadilan dan kesaksamaan serta prinsip pengurusan fiskal yang bertanggungjawab. Penggal ini menyatakan tanggungjawab Menteri Kewangan berhubung dengan dasar hasil iaitu antaranya, merangka strategi hasil jangka masa sederhana, menyediakan anggaran hasil tahunan, menaksir potensi kehilangan atau tambahan hasil serta memastikan pengurusan dan pentadbiran hasil mengikut objektif yang dinyatakan dalam akta yang dicadangkan ini.
Penggal 2. Penggal itu, dalam bahasa Inggeris, maksudnya division. Terma khas untuk akta. Penggal 2 menjelaskan pengurusan perbelanjaan awam perlu dirangka dan dilaksanakan secara berkesan dan cekap dengan mengutamakan disiplin fiskal, ketelusan dan keberkesanan ke arah mencapai keseluruhan objektif sosioekonomi. Penggal ini menyatakan tanggungjawab Menteri Kewangan untuk menyatakan sumber pembiayaan sama ada melalui penjimatan, penstrukturan semula perbelanjaan, tambahan hasil atau pinjaman sekiranya terdapat keperluan peruntukan tambahan.
Menteri Kewangan juga perlu menyediakan dasar perbelanjaan jangka sederhana serta menambah baik tata kelola dan ketelusan dalam perbelanjaan melalui pemantauan dan pelaporan secara berkala. Penggal ini juga menyatakan tanggungjawab Menteri Kewangan berhubung dengan pengurusan hutang dan pinjaman iaitu antaranya, menyediakan program pinjaman tahunan serta membuat penilaian kemapanan hutang jangka masa sederhana.
Penggal 4 menjelaskan pengurusan risiko fiskal dengan matlamat meminimumkan dan mengurangkan pendedahan risiko fiskal kerajaan. Risiko fiskal kerajaan merangkumi komitmen kewangan berbangkit daripada jaminan kerajaan, kerjasama awam-swasta dan entiti kerajaan, perubahan indikator ekonomi serta impak daripada bencana alam, perubahan iklim, pandemik dan situasi geopolitik yang akan meningkatkan komitmen kewangan kerajaan.
Penggal ini menyatakan tanggungjawab Menteri Kewangan berhubung dengan pengurusan risiko fiskal. Antaranya, mengenal pasti sumber risiko fiskal, menilai dan melaporkan risiko fiskal tersebut. Menteri Kewangan juga perlu menyediakan garis panduan pengurusan risiko fiskal bagi mengehadkan pendedahan risiko fiskal serta menyediakan pelan mitigasi bagi menangani impak risiko fiskal.
Bahagian IV mengandungi klausa berkaitan pelan pelarasan fiskal bagi meningkatkan kebertanggungjawaban Menteri Kewangan kepada Parlimen. Pelan pelarasan fiskal perlu dibentangkan dalam dua keadaan iaitu:
(i) sekiranya berlakunya penyimpangan sementara; dan
(ii) apabila sasaran yang ditetapkan dalam Jadual Pertama akta ini tidak dapat dicapai.
Penyimpangan sementara memberi fleksibiliti kepada kerajaan untuk menyimpang sementara daripada sasaran yang ditetapkan dalam Jadual Pertama akta ini sekiranya berlaku keadaan luar jangka seperti krisis ekonomi, krisis kesihatan atau apa- apa yang menjejaskan kedudukan fiskal negara.
Dalam hal ini, Menteri Kewangan perlu membuat penilaian kepada keadaan luar jangka tersebut dan membentangkan kepada Jemaah Menteri. Sekiranya Jemaah Menteri bersetuju bahawa terdapat keadaan luar jangka yang akan memberi kesan yang signifikan kepada ekonomi, kesihatan dan kedudukan fiskal, maka Menteri Kewangan perlu membentangkan pelan pelarasan fiskal untuk kelulusan Jemaah Menteri dan kemudiannya dibentangkan kepada Dewan Rakyat untuk makluman.
Oleh yang demikian, kerajaan boleh melaksanakan sebarang langkah suntikan rangsangan ekonomi ataupun, dengan izin, counter-cyclical measures sekiranya berlaku sebarang krisis yang boleh menjejaskan kehidupan, ekonomi dan kedudukan fiskal kerajaan.
Manakala dalam keadaan kedua, sekiranya objektif fiskal dan nilai kuantiti dalam Jadual Pertama akta yang dicadangkan tidak dapat dicapai, Menteri Kewangan bertanggungjawab untuk membentangkan pelan pelarasan fiskal melalui satu ketetapan di Dewan Rakyat untuk kelulusan.
Sekiranya Dewan Rakyat tidak meluluskan pelan pelarasan ini, Dewan Rakyat boleh meluluskan satu ketetapan untuk Menteri Kewangan menambah baik pelan pelarasan fiskal untuk dibentangkan semula di Dewan Rakyat. Menteri Kewangan perlu melaporkan kemajuan langkah pelan pelarasan fiskal tersebut dalam Laporan Tinjauan Fiskal Tahunan.
Pelan pelarasan fiskal hendaklah mengandungi justifikasi bagi penyimpangan atau ketidakcapaian objektif fiskal dan nilai kuantiti, langkah-langkah yang akan diambil dan jangkaan tempoh masa yang akan diambil untuk kembali atau mencapai semula objektif fiskal dan nilai kuantitinya.
Bahagian V, Tuan Yang di-Pertua, mengenai penginstitusian Jawatankuasa Dasar Fiskal ataupun Fiscal Policy Committee (FPC), dengan izin, yang telah ditubuhkan secara pentadbiran sejak 2013. Jawatankuasa ini bertanggungjawab untuk menyelia hal ehwal fiskal, hutang dan liabiliti serta risiko fiskal, membincang dan mengesyorkan dasar bagi mencapai objektif fiskal serta memenuhi tugas fidusiari dalam memastikan pelaksanaan dasar fiskal selaras dengan pengurusan fiskal bertanggungjawab.
Jawatankuasa ini akan dianggotai oleh ahli-ahli seperti berikut:
(iii) Perdana Menteri sebagai Pengerusinya;
(iv) Timbalan Perdana Menteri;
(v) Menteri yang dipertanggungjawabkan bagi hal ehwal kewangan;
(vi) Menteri yang dipertanggungjawabkan bagi ekonomi;
(vii) Ketua Setiausaha Negara;
(viii) Ketua Setiausaha Perbendaharaan;
(ix) Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi;
(v) Gabenor Bank Negara Malaysia; dan
(vi) tidak lebih dua orang yang lain yang mempunyai kedudukan dan pengalaman berkaitan fiskal dan kewangan awam.
Timbalan Menteri Kewangan - Tuan Sim Chee Keong
Bahagian keenam pula melibatkan keperluan penerbitan beberapa laporan berkaitan kedudukan ekonomi dan fiskal merangkumi laporan sedia ada dan laporan yang baharu. Laporan sedia ada termasuk tinjauan ekonomi, tinjauan fiskal dan anggaran hasil Kerajaan Persekutuan serta anggaran belanjawan tahunan yang sememangnya telah pun diterbitkan pada masa ini. Laporan baharu pula- yang akan diterbitkan adalah laporan prestasi perbelanjaan separuh tahun, penyata risiko fiskal dan penyata perbelanjaan cukai.
Jadual Pertama memperincikan objektif fiskal dan nilai kuantiti iaitu sasaran tahunan dan jangka sederhana antara tiga hingga lima tahun yang ingin dicapai oleh kerajaan. Terdapat empat sasaran dalam Jadual Pertama tersebut iaitu:
(iii) perbelanjaan pembangunan tahunan sebagai peratusan kepada KDNK sekurang-kurangnya tiga peratus;
(iv) defisit fiskal sebagai peratusan kepada KDNK sebanyak tiga peratus ataupun kurang dalam tempoh tiga hingga lima tahun;
(v) paras hutang sebagai peratusan kepada KDNK sebanyak 60 peratus atau kurang dalam tempoh tiga hingga lima tahun; dan
(vi) had jaminan kewangan sebagai peratusan kepada KDNK tidak melebihi 25 peratus.
Bagi maksud jaminan kewangan yang dinyatakan dalam Jadual Pertama akta ini, ia adalah merujuk dan terhad kepada jaminan yang terkandung di bawah empat akta berikut:
(i) Akta Tatacara Kewangan 1957 ataupun Akta 61 subseksyen 14(1);
(ii) Akta Jaminan Pinjaman (Pertubuhan Perbadanan) 1965 ataupun Akta 96 subseksyen 2(1);
(iii) Akta Jaminan Pinjaman 1972 ataupun Akta 66 subseksyen 2; dan
(iv) Akta Jaminan Pinjaman 1963 ataupun Akta 412 seksyen 2.
Had siling jaminan yang ditetapkan dalam Jadual Pertama akta yang dicadangkan ini tidak termasuk jaminan berkanun ataupun statutory guarantee, dengan izin, yang diberikan di bawah Akta Tubuh Entiti yang diluluskan Parlimen seperti:
(i) jaminan deposit Bank Simpanan Nasional;
(ii) Lembaga Tabung Haji;
(iii) Skim Simpanan Pendidikan Nasional; dan
(iv) caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja.
Perlu saya jelaskan bahawa sekiranya kerajaan ingin menetapkan hala tuju dan sasaran fiskal yang baharu daripada apa yang saya sebut tadi, seiring dengan prinsip pengurusan fiskal bertanggungjawab kerajaan boleh dan perlu mengemukakan rang undang-undang pindaan ke atas Jadual Pertama untuk kelulusan di Parlimen.
Tuan Yang di-Pertua, buat kali pertama dalam sejarah, satu akta berkaitan pengurusan dasar fiskal dirangka berdasarkan konteks Malaysia bagi memastikan kemapanan kewangan awam, memelihara kestabilan mikroekonomi dan melindungi kesejahteraan rakyat. Akta yang dicadangkan ini mengandungi objektif dan sasaran fiskal yang jelas untuk dicapai oleh kerajaan dalam tempoh masa sederhana.
Selain itu, akta ini menekankan aspek akauntabiliti Menteri Kewangan kepada Parlimen dalam menguruskan dasar fiskal dan kewangan awam. Penggubalan akta yang dicadangkan ini menggambarkan komitmen kerajaan bagi menambah baik tatakelola kebertanggungjawaban dan ketelusan dalam pengurusan dasar fiskal negara. Sifat dan sikap tanggungjawab dalam pelaksanaan tugas perlu dijiwai dalam diri setiap pemimpin dan penjawat awam dengan menjunjung ketaatan kepada negara, bangsa dan agama melebihi kepentingan peribadi.
Justeru, sokongan penuh dalam menyokong rang undang-undang ini merupakan bukti Ahli-ahli Yang Berhormat semua berjiwa besar dalam mendukung pembaharuan dan penambahbaikan kepada dasar fiskal negara. Tetapkan niat yang baik dengan membuat perkara yang betul supaya kita dapat mewariskan satu teladan buat generasi yang akan datang.
Saya akhiri ucapan saya dengan ucapan setinggi terima kasih dan penghargaan kepada sokongan Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian.
Kalau tuan memacak pancang; Pacak tegak di tepi sumur; Kalau tadbir tidak pincang; Negara hebat rakyat makmur. Tuan Yang di-Pertua, saya mohon mencadangkan...
[Tepuk]
Timbalan Yang di-Pertua
Terima kasih YB Menteri. Nanti ada Ahli-ahli yang akan balas pantun tadi. Ada siapa-siapa yang menyokong?
Timbalan Menteri Kewangan - Datuk Seri Haji Ahmad bin Haji Maslan
Saya menyokong. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua
Terima kasih. Ahli-ahli Yang Berhormat, masalah di hadapan Majlis iaitu suatu akta untuk membuat peruntukan mengenai tanggungjawab, kebertanggungjawaban, tadbir urus dan ketelusan kerajaan dalam menguruskan kewangan awam dan risiko fiskal khususnya berhubung dengan hasil, perbelanjaan, pinjaman dan hutang, melaporkan dokumen belanjawan tahunan dan penerbitan dokumen yang lain dan untuk mengadakan peruntukan bagi perkara lain yang berkaitan dengannya dibacakan untuk kali yang kedua sekarang dan terbuka untuk dibahaskan.
Ahli-ahli Yang Berhormat, di hadapan saya ada seramai 25 orang Ahli yang hendak berbahas. Ramai itu, maka saya membuat ketetapan bahawa masa yang akan diberikan kepada mereka iaitu lima minit seorang.
Dipersilakan YB Senator Dato’ Kesavadas a/l Achyuthan Nair untuk berbahas.
Dato’ Kesavadas a/l A Achyuthan Nair
I think lima minit ini pendek sangat lah.
Timbalan Yang di-Pertua
Ada 25 orang YB....
[Ketawa]
Dato’ Kesavadas a/l A Achyuthan Nair
Terima kasih Yang di-Pertua.
Rang Undang-undang Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal harus juga melihat kepada ketirisan cukai. Ketirisan cukai merupakan satu masalah yang boleh merencatkan pertumbuhan ekonomi negara yang antara didorong oleh pendapatan kerajaan daripada hasil cukai negara. Sejajar dengan objektif untuk memastikan kemapanan kewangan awam yang digariskan dalam fasal 5, rang undang-undang ini, Kementerian Kewangan seharusnya sudah memulakan kajian yang menyeluruh untuk meneliti kaedah terbaik dan komprehensif dalam melaksanakan sistem kutipan cukai yang lebih berkesan.
Perkara tersebut seiring dengan saranan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) pada Malaysia untuk mewujudkan strategi hasil jangka sederhana atau mid-term revenue strategy (MTRS) yang berupaya meningkatkan pendapatan kerajaan menerusi percukaian. Pada tahun 2021, negara hanya mencapai 11 peratus nisbah cukai kepada KDNK yang menyebabkan negara kita berada pada kedudukan terendah dalam kelompok ASEAN-5 dan Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD).
Hal tersebut merupakan kerisauan yang perlu diselesaikan oleh kerajaan menerusi dukungan MOF untuk mewujudkan satu, strategi holistik yang mampu memulihkan hasil pendapatan negara yang banyak terkesan disebabkan ketirisan cukai.
Dalam keadaan negara berdepan dengan cabaran kos sara hidup yang boleh mengurangkan perbelanjaan rakyat, kerajaan menerusi undang-undang ini perlu memastikan hasil pendapatan kerajaan dapat dimanfaatkan secara saksama bagi memulihkan ekonomi rakyat.
Pemakluman hasil dan anggaran cukai yang digariskan dalam fasal 34 rang undang-undang ini boleh meningkatkan kepekaan umum terhadap kepentingan pelaksanaan cukai kepada pembangunan negara. Seperti yang diperuntukkan, Menteri Kewangan mempunyai tanggungjawab untuk menyampaikan maklumat berkenaan hasil negara yang telah dikutip pada tahun kewangan yang sebelumnya serta unjuran cukai bagi tahun kewangan semasa dan mendatang.
Selain itu, seperti yang diperuntukkan dalam fasal 38, menjadi tanggungjawab Menteri Kewangan untuk menerbitkan penyata perbelanjaan cukai tahunan yang bagi saya merupakan satu pendekatan yang boleh mengukur prestasi pelaksanaan setiap jenis cukai yang dilaksanakan oleh kerajaan dalam satu-satu tahun kewangan.
Sehubungan dengan itu, penubuhan Jawatankuasa Dasar Fiskal yang digariskan dalam fasal 28 adalah wajar untuk dijadikan sebagai brainstorming avenue, dengan izin, untuk anggota-anggota jawatankuasa serta pakar-pakar kewangan untuk berkongsi pandangan mengenai satu-satu dasar percukaian.
Dato’ Kesavadas a/l A Achyuthan Nair
Berkenaan dengan pertubuhan jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri tersebut, saya ingin mengemukakan dua cadangan untuk dipertimbangkan.
Pertama, keanggotaan jawatankuasa tersebut seharusnya turut melibatkan wakil kepimpinan tertinggi Lembaga Hasil Dalam Negeri memandangkan LHDN merupakan badan yang bertanggungjawab dalam hal percukaian negara, wakil kepimpinan tertinggi LHDN seharusnya dilibatkan secara tetap dalam pembikinan Dasar Fiskal terutamanya yang melibatkan percukaian.
Kedua, peranan Jawatankuasa Pilihan Parlimen perlu disertakan. Sebagai pandangan apa jua keputusan yang dimuktamadkan atau apa jua cadangan berbangkit yang belum diputuskan di Peringkat Jawatankuasa Dasar Fiskal sewajarnya dimaklumkan kepada perhatian Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (Kewangan dan Ekonomi).
Pendekatan tersebut bertujuan untuk mendapatkan maklum balas daripada Ahli- ahli Parlimen yang menganggotai Jawatankuasa Pilihan Khas tersebut. Menerusi peranan yang turut dimainkan oleh cabang legislatif, apa jua inti pati dasar yang akan diputuskan di peringkat eksekutif Jemaah Menteri dapat dilaksanakan semak dan imbang.
Datuk Seri Yang di-Pertua, sekian sahaja ucapan perbahasan saya bagi Rang Undang-undang Perbelanjaan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023. Saya mohon menyokong.
Timbalan Yang di-Pertua
Terima kasih YB. Saya tahu YB tadi ada lagi perkara yang nak disebutkan, tetapi...
Dato’ Kesavadas a/l A Achyuthan Nair
Ya, ada lagi.
Timbalan Yang di-Pertua
...Bagi mematuhi ruling yang telah saya buat, terima kasih.
Sekarang ini saya jemput YB Senator Datuk Seri Dr. Muhjahid bin Yusof untuk berbahas.
Datuk Seri Dr. Muhjahid bin Yusof
Terima kasih Tuan Speaker. Tak cukup syarat kalau saya tidak membalas pantun daripada Timbalan Menteri. Saya pantang menjual pantun saya pasti membelinya.
*Senang hati sejuk mata, Kita bergerak sama serentak; Tadbir negara amanah kita, Tahniah Madani berani bertindak...
[Tepuk]* Tuan Speaker, saya masih ingat perjuangan untuk mengadakan akta ini bukanlah baru tetapi sudah bermula hampir 15 tahun yang lalu. Di mana di dalam Dewan yang mulia ini dan di dalam Dewan Rakyat kita telah pun membangkitkan isu-isu kebertanggungjawaban. Jadi saya tidak berlebihan untuk saya mengucapkan syabas dan tahniah. Saya sempat dalam perjuangan ini untuk berbahas, di mana akta ini ada di depan kita dan ia satu yang sangat- tiba masanya walaupun agak lambat, tetapi better late than never.
Tuan Speaker, dalam konsep Madani ada satu- teras yang dinamakan sebagai keyakinan. Saya kira salah satu masalah kestabilan politik yang kita lalui hari ini adalah kerana rakyat di bawah sana kurang yakin dengan cara kerajaan mengelolakan kewangan negara. Kita tahu berbagai ketirisan berlaku isu rasuah dan sebagainya. Maka salah satu untuk cara kita kembalikan keyakinan kepada rakyat adalah dengan mengemukakan akta ini. Ini satu perkembangan yang sangat baik dan saya harap rakyat menghargai bahawa Kerajaan Madani hari ini bukan sahaja bercakap, tetapi walk the talk. Syabas kepada Perdana Menteri kita.
Tuan Speaker, soalan saya yang berbaki ialah apabila disebut enam bulan kewangan negara itu perlu dibentangkan, apakah ia perlu dibentangkan dan adakah Ahli Parlimen boleh mengambil bahagian dalam perbahasan tersebut?
Yang kedua, soalan saya iaitu dari sudut pinjaman kerajaan, jaminan kerajaan- bolehkah Menteri memberikan kita satu gambaran, berapakah hari ini secara peratusnya dibandingkan dengan KDNK apa yang ditanggung oleh jaminan kerajaan? Kerana di dalam buku ini yang akan kita bahaskan nanti iaitu Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2024 di bahagian yang kelima iaitu Jaminan Kerajaan masih banyak lagi kita melihat komitmen jaminan yang telah diberikan oleh kerajaan. Saya mahu tahu dalam kita menjayakan akta ini, apakah tahap yang kita terpaksa tanggung peratusnya berbanding dengan KDNK yang ditetapkan hanya 60 peratus sahaja? Sorry, 25 peratus berbanding dengan apa yang kita ada hari ini.
Jadi untuk mencapai itu sudah tentu memainkan- akhirnya, masih ada ruang lagi alhamdulillah. Saya nak ingatkan bahawa kita tidak banyak boleh melihat akta ini secara bersendirian, tetapi kita juga kena lihat dalam peruntukan yang diberikan, hanya GLC yang duduk di bawah- ataupun akta di bawah perbadanan kewangan sahaja ataupun Minister of Finance Incorporated dan perbadanan, tetapi tak masuk GLC-GLC dalam kementerian- kementerian lain contohnya.
Jadi, kita tidak mahu macam ke depan sebelum ini, apabila berlaku tata kelola kewangan yang culas di dalam GLC yang ikut kementerian lain, mereka telah menyebabkan kerajaan terpaksa ambil alih komitmen jaminan kerana culasnya tata kelola kewangan. Sekali-kali kita akan kembali balik kepada square one, kepada masalah ini.
Jadi saya minta bagi penjelasan dan penerangan.
Saya akhiri dengan hadis Nabi SAW iaitu...
[Membaca sepotong Hadis] Hadis Riwayat Ahmad di dalam musnad nya, “Bahawa tidak ada iman bagi orang yang tidak ada amanah pada dirinya dan tidak ada agama bagi orang yang tidak memenuhi janji.” Semoga akta ini memenuhi kehendak dan semangat yang disebut... [Membaca sepotong ayat Al-Quran] Iaitu, “Mereka yang apabila diberi amanah dan mereka membuat janji maka mereka memenuhi janji tersebut,” dalam surah Al-Mukminun, ayat 18.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertu
Terima kasih YB.
Sekarang ini saya jemput YB Senator Dato’ (Dr.) Arman Azha bin Abu Hanifah untuk berbahas.
Dato’ (Dr.) Arman Azha Abu Hanifah
Bismillahi Rahmani Rahim.
Assalamualaikum dan salam sejahtera. Terima kasih Datuk Seri Yang di-Pertua kerana memberikan saya peluang untuk berbahas Rang Undang-undang Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023.
Datuk Seri Yang di-Pertua, pertama saya ingin menzahirkan ucapan syabas kepada Kementerian Kewangan yang gigih dan proaktif dalam usaha menangani isu ketirisan, pembaziran, penyelewengan dan kelemahan tata kelola dalam pengurusan wang awam.
Selalu dengar amalan terbaik sektor kewangan yang dipraktikkan di peringkat antarabangsa, saya yakin Malaysia yang diterajui oleh pimpinan Kerajaan Perpaduan mampu memandu ke arah perbelanjaan dana awam yang lebih cekap melalui Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal yang akan diperkenalkan ini.
Saya tertarik dengan inisiatif ini untuk membendung peningkatan hutang negara.
Sebaliknya membina platform untuk menubuhkan ruang fizikal dan usaha tangani krisis ekonomi yang tidak menentu dalam keadaan ekonomi hari ini. Kita sudah mampu membina satu saluran dana awam untuk dikitarkan kembali kepada keadaan darurat sekiranya melanda, situasi ini dilihat mampu meningkatkan kepentingan peranan Dasar Fiskal dalam menyokong pemulihan dan pertumbuhan ekonomi negara terutama dalam masa tiga, ke-lima tahun akan datang.
Datuk Seri Yang di-Pertua, saya ingin menyentuh sedikit mengenai fasal lima dalam akta ini iaitu Penginstitusian Dasar Fizikal yang ditubuhkan untuk menyelia hal ehwal fiskal, hutang, liabiliti dan risiko. Seperti mana yang disebut oleh Timbalan Menteri Kewangan ketika pembentangan ini di Dewan Rakyat tempoh hari, saya amat berharap satu Jawatankuasa kecil terdiri daripada wakil setiap negeri dan wilayah diwujudkan kerana perlu mengambil kira kesejahteraan rakyat dan keadaan negeri-negeri yang turut terlibat dalam isu ini.
Justeru itu, saya amat berharap agar isu ini dapat diteliti, diperhalusi akta ini dapat memberi garis panduan yang baik agar merasakan pelaksanaan ini oleh rakyat. Saya juga ingin tahu, apakah pakej-pakej rangsangan yang sedang dirangka untuk manfaat rakyat sejajar dengan pelaksanaan FRA ini?
Datuk Seri Yang di-Pertua, sejak pembentangan Belanjawan 2024 diumumkan oleh Perdana Menteri kita baru-baru ini, saya rasa ramai di kalangan kita mendapat respons dan reaksi rakyat yang berbeza-beza. Daripada pelbagai latar belakang. Satu yang banyak disuarakan iaitu isu sistem Cukai Progresif yang bakal diperkenalkan dan merunsingkan...
Seorang Ahli
[Bercakap tanpa menggunakan pembesar suara]
Dato’ Arman Azha Abu Hanifah
Cukai Progresif. Terima kasih. Timbalan Menteri mendengar perbahasan. Bermakna, Timbalan Menteri mengganggu, minta tambah lagi seminit. Tak boleh?...
[Ketawa]
Seorang Ahli
...Kena minta izin Timbalan Menteri dulu.
Dato’ Arman Azha Abu Hanifah
Sistem Cukai Progresif yang bakal diperkenalkan ini merunsingkan kebanyakan usahawan dan golongan berpendapatan tinggi. Yang bayar cukai tinggi, T20. Yang tak dapat cukai- tak dapat subsidi, T20.
Sepatutnya, kerajaan perlu lihat kerana golongan T20 inilah sebahagiannya yang memberikan cukai tertinggi kepada kerajaan.
Oleh itu, demikian pihak kementerian perlu menjelaskan, apa rancangan, menyenaraikan jenis-jenis cukai baru ini dilihat selari dengan harapan aspirasi Kerajaan Madani untuk tidak membebankan rakyat. Bagi saya, rata-rata usahawan hari ini risau tentang cukai progresif ini sebab baru lepas COVID-19, baru nak hidup, baru nak selesaikan masalah ekonomi, dah ada cukai yang baharu.
Jadi, kita minta pihak kerajaan dan saya yakin, Timbalan Menteri- dua-dua Timbalan Menteri ada. Nombor satu, nombor dua. Dua-dua big brothers saya ada sini, yakin mereka akan bawa perkara ini kepada pengetahuan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, agar Cukai Progresif ini perlu dilihat secara lebih detil lagi.
Kita tidak mahu rakyat dibebankan dengan pelbagai cukai. Melestarikan pendapatan negara secara zahirnya, kita melihat sesuatu yang perlu menguntungkan negara tanpa membebankan rakyat. Sejajar itu, apakah kementerian memberi sebarang jaminan tentang perkara ini?
Kita sedia maklum, banyak faktor yang perlu dipertimbangkan bagi menggaris kejayaan pertumbuhan fiskal negara. Ia tidak mudah. Atas paper, mungkin mudah, tetapi pelaksanaan itu mungkin menjadi satu perkara yang sukar. Apakah usaha dan saranan untuk menurunkan bayaran khidmat hutang?
Satu cabaran yang perlu semua pihak menggembleng tenaga. Apa yang bermain di fikiran saya sekarang, jika jangka masa sederhana gagal dicapai untuk menurunkan khidmat hutang, apakah pendekatan Jawatankuasa Dasar Fiskal dalam mengenai isu ini?
Rakyat kini memerhati segala usaha, langkah dilakukan oleh pihak kerajaan bagi menyelesaikan masalah ini.
Dato' Sri Yang di-Pertua, pelaksanaan isu ini satu tindakan berani, berintegriti daripada pihak Kementerian Kewangan. Pihak kementerian sendiri menggubal satu akta yang patut dipatuhi oleh mereka untuk mengawal cara pengurusan wang awam. Ini merupakan komitmen yang terbaik oleh pihak kerajaan untuk mentadbir dan amalan tatakelola yang baik, seterusnya yang bertanggungjawab.
Langkah yang diperkenalkan ini yakin, mampu untuk mengembalikan kepercayaan pelabur-pelabur- sikit lagi, Dato' Sri- rakyat kepada negara kita. Dato' Sri Yang di-Pertua, saya amat berharap Rang Undang-undang Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 ini yang dibahaskan hari ini dapat mencapai tujuan dan mengenal pasti, mengatasi segala ketirisan, pembaziran dan cara tata kelola yang cukup berhemah.
Dengan demikian- saya ikut time, ya. Saya sudahi perbahasan saya tadi. Oleh itu, saya mohon menyokong. Sekian. Wabillahitaufiq walhidayah, wassalamualaikum warahmtullahi wabarakatuh.
Timbalan Yang di-Pertua
Terima kasih kerana memahami, Yang Berhormat.
Seterusnya, saya menjemput Yang Berhormat Senator Dr. Hajah Wan Martina binti Wan Yusof untuk berbahas.
Dr. Hajah Wan Martina binti Wan Yusof
*Bismillahi Rahmani Rahim.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh*. Terima kasih, Tuan Yang di-Pertua atas ruang dan peluang yang diberikan kepada saya untuk membahaskan Rang Undang- undang Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 iaitu suatu akta untuk membuat peruntukan mengenai kebertanggungjawaban, tadbir urus dan ketelusan kerajaan dalam menguruskan kewangan awam dan risiko fiskal, khususnya berhubung dengan hasil perbelanjaan, pinjaman dan hutang, melaporkan dokumen belanjawan tahunan dan penerbitan dokumen lain, dan untuk mengadakan peruntukan bagi perkara yang berkaitan dengannya.
Tuan Yang di-Pertua, saya mengalu-alukan rang undang-undang ini dan sememangnya menjadi harapan dan penantian seluruh rakyat Malaysia untuk melihat pentadbiran dan pengurusan kewangan lebih telus dengan tata kelola yang cekap dan tiada ketirisan dalam menghadapi cabaran ekonomi pada masa kini, dan tahniah juga kepada kementerian yang telah berjaya membawa rang undang-undang ini ke Parlimen dan telah diluluskan di Dewan Rakyat.
Tuan Yang di-Pertua, objektif dengan meletakkan kebertanggungjawaban kerajaan dalam tadbir urus ini diharap menjadi realiti yang akhirnya boleh menguntungkan rakyat. Akta ini telah menyenaraikan tanggungjawab dan peranan Menteri yang sememangnya menjadi tanggungjawab sebagai seorang Menteri Kewangan.
Ia merupakan satu tugasan yang amat berat dan memerlukan komitmen yang tinggi dan harapan rakyat supaya kerajaan dapat melaksanakan tanggungjawab ini dengan berdisiplin dan mematuhi akta seperti yang termaktub.
Soalan pertama saya Yang di-Pertua adalah apakah dan bagaimanakah mekanisme pemantauan yang akan dilaksanakan nanti apabila akta ini diluluskan dan dikuatkuasakan untuk memastikan tata kelola pentadbiran dan pengurusan benar-benar telus dan cekap dan adakah sebuah badan khas akan ditubuhkan yang akan memantau akta ini?
Adakah pelan perancangan dan apakah pelan tindakan kerajaan untuk mengatasi ketirisan yang berlaku, pembaziran dan penyelewengan serta kelemahan tata kelola dalam pengurusan wang awam dan akhirnya, yang boleh merugikan negara?
Tuan Yang di-Pertua, merujuk kepada Bahagian V – Jawatankuasa Dasar Fiskal, Penubuhan Jawatankuasa – Perkara 28 dan Anggota Jawatankuasa – Perkara 29.
Jawatankuasa ini dipengerusikan oleh Perdana Menteri manakala Menteri Kewangan merupakan Ahli Jawatankuasa. Soalan saya, bagaimanakah sistem pemantauan akan dilaksanakan apabila dua jawatan ini ditanggung oleh orang yang sama?
Tuan Yang di-Pertua, saya juga ingin bertanya, apa justifikasi untuk melantik tidak lebih dari dua orang, yang mempunyai pengalaman dalam fiskal dan kewangan awam?
Saya berpandangan, kita memerlukan lebih ramai pakar-pakar yang berkaitan bagi meningkatkan kecekapan tata kelola, kebertanggungjawaban dan ketelusan dalam pengurusan kewangan awam.
Tuan Yang di-Pertua, menjadi harapan rakyat juga apabila akta ini diluluskan dan dikuatkuasakan, kerajaan dapat melaksanakan tanggungjawab dengan lebih telus, cekap, adil kepada semua rakyat, terutamanya kepada rakyat di negeri yang masih ketinggalan seperti negeri saya, Kelantan, Perlis serta Sabah dan Sarawak.
Kelantan memberi harapan yang tinggi kepada akta ini supaya peruntukan yang adil dapat diberikan kepada rakyat kami. Kelantan berharap supaya kadar kemiskinan di negeri ini dapat dikurangkan dan akhirnya, dapat dinoktahkan dalam masa terdekat seperti yang telah diucapkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dalam ucapan pembentangan bajet yang lalu.
Tuan Yang di-Pertua, saya tidak ingin memanjangkan lagi ucapan saya ini, sebab saya kurang sihat hari ini, Yang di-Pertua. Saya memang sesak nafas sikit. Dengan ini, saya sudah dengan menyokong...
Datuk Wira Dr. Mohd Hatta bin Md Ramli
Yang Berhormat, Yang Berhormat.
Dr. Hajah Wan Martina binti Wan Yusof
Ya?
Datuk Wira Dr. Mohd Hatta bin Md Ramli
Boleh mencelah sikit, sebelum duduk itu? Rehat sekejap disebabkan tak sihat.
Dr. Hajah Wan Martina binti Wan Yusof
Boleh. Silakan.
Timbalan Yang di-Pertua
Tuan punya badan nak berhenti.
Datuk Wira Dr. Mohd Hatta bin Md Ramli
Datuk Yang di-Pertua, mencelah sikit ya. Adakah Yang Berhormat Senator bersetuju untuk memantau sesuatu usaha ini- kalau orang memantau diri sendiri, memang boleh dipertikai. Setuju tak kalau kita di Dewan Negara ini juga, dijemput untuk sama-sama terlibat dalam bentuk suatu Jawatankuasa Khas Dewan Negara untuk membantu memantau ini?
Dr. Hajah Wan Martina binti Wan Yusof
Saya- terima kasih, Yang Berhormat.
Saya sangat bersetuju dan saya masukkan ucapan tadi ke dalam ucapan saya. Terima kasih. Dengan itu, saya mohon menyokong rang undang-undang ini. Sekian, terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua
Terima kasih, Yang Berhormat. Semoga sihat cepat.
Sekarang, saya jemput Yang Berhormat Senator Tuan Musoddak bin Ahmad untuk berbahas.
Tuan Musoddak bin Ahmad
*Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Alhamdulillah...
[Berucap dalam Bahasa Arab]* Terima kasih, Yang di-Pertua kerana memberikan keizinan kepada saya untuk berbahas mengenai suatu Rang Undang-undang Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023.
Tuan Musoddak bin Ahmad
Secara prinsipnya, saya tidak mempunyai masalah mengenai rang undang- undang ini. Namun, ada beberapa perkara yang harus diberikan perhatian dengan penggubalan akta ini bagi memastikan bukan sahaja soal kemapanan fizikal tercapai, bahkan kesejahteraan rakyat tetap menjadi keutamaan kita.
Tuan Yang di-Pertua, pertama akhir pengurusan fizikal iaitu memastikan rakyat dan negara mendapat manfaatnya. Ini pertimbangan yang harus kita utamakan, khususnya ketika negara berhadapan dengan krisis yang besar seperti pandemik COVID- 19 yang lalu. Saya bimbang kita terikut-ikut dengan dasar fizikal yang diamalkan negara barat. Seperti authority, dengan izin, yang mengecilkan perbelanjaan kerajaan, semata- mata untuk memastikan defisit fizikal yang rendah ketika krisis sedang menghimpit negara.
Namun, akhirnya yang paling terkesan iaitu rakyat, sehingga mendorong kepada krisis sosial yang berpanjangan. Biarlah kita mempunyai prinsip yang tersendiri untuk meletakkan rakyat sebagai keutamaan dalam apa jua perencanaan fizikal.
Kedua, saya teliti dalam kertas rang undang-undang ini, ibarat suatu akta yang menyelaras keseluruhan dasar fizikal yang diamalkan kerajaan dalam satu bentuk perundangan yang jelas. Cuma, ada beberapa item yang harus dipertimbangkan untuk diletakkan dalam kertas rang undang-undang ini supaya ia lebih komprehensif.
Di sini, saya melihat perlunya suatu tafsiran terhadap disiplin fizikal dimasukkan dalam fasal dua bagi memastikan suatu definisi yang jelas terhadap disiplin fizikal. Disiplin fizikal ini melibatkan jumlah hasil yang mesti mencukupi untuk membiayai perbelanjaan operasi serta dalam masa yang sama, kerajaan hanya meminjam bagi membiayai perbelanjaan pembangunan.
Tuan Yang di-Pertua, selain itu, mengenai definisi petunjuk ekonomi yang di sini dinyatakan petunjuk yang digunakan dalam menyediakan unjuran kedudukan fizikal, termasuklah tetapi tidak terhad kepada keluaran dalam negeri kasar, harga komoditi dan kadar pertukaran mata wang asing.
Saya mencadangkan supaya kita meletakkan suatu definisi yang lebih jelas terhadap petunjuk ekonomi dalam negara supaya ia dapat menjadi ukuran awal terhadap objektif pengurusan fizikal negara. Selain kita meletakkan KDNK sebagai petunjuk utama ekonomi, aspek lain seperti inflasi dan tahap pengangguran perlu juga diletakkan sebagai antara petunjuk utama prestasi ekonomi bagi negara. Jadi, soal definisi petunjuk ekonomi perlulah lebih jelas lagi.
Ketiga, saya ingin menyentuh berkenaan dengan Jawatankuasa Dasar Fizikal iaitu berkaitan dengan soal keanggotaannya. Saya perhatikan bahawa jika inilah bentuk jawatankuasa fizikal yang dicadangkan, dengan fiskal...
Datuk Seri Haji Ahmad bin Haji Maslan
Fiskal, bukan fizikal. Fiskal.
Tuan Musoddak bin Ahmad
...Fiskal yang dicadangkan dengan Perdana Menteri sebagai Pengerusi Jawatankuasa. Maka secara tidak langsung ia memberi maksud, seorang Perdana Menteri tidak sepatutnya memegang jawatan Menteri Kewangan dalam masa yang sama. Saya bersetuju sangat dengan Senator Dr. Hatta untuk dimasukkan kita- Senator sebagai Jawatankuasa tersebut...
Datuk Wira Dr. Mohd Hatta bin Md Ramli
Cantik.
Tuan Musoddak bin Ahmad
Jika tidak, ia tidak mengubah apa-apa peranan Jawatankuasa ini kerana kuasa masih berpusat kepada seorang individu. Bagaimanakah mungkin mekanisme semak dan imbang boleh berlaku jika kuasa bagi pengurusan fiskal ini bergantung pada seorang individu?
Perkara keempat yang ingin disentuh adalah berkenaan objektif fiskal yang dinyatakan dalam jadual pertama RUU ini. Selain empat objektif yang dinyatakan dalam jadual pertama ini, saya berpandangan perlu ada beberapa item tambahan lagi seperti pinjaman luar pesisir yang tidak melebihi RM35 bilion serta had Bil Perbendaharaan Malaysia MPV di bawah Akta Bil Perbendaharaan Tempatan 1946.
Perkara terakhir adalah berkenaan fiskal-fiskal negeri, khususnya negeri miskin seperti mana yang telah disebut oleh rakan Senator dari Kelantan tadi. Walaupun kita bercakap tentang kemapanan pengurusan fiskal di peringkat Persekutuan, soal pengesahan fiskal di negeri-negeri juga tidak harus dipinggirkan. Jumlah fiskal keseluruhan negeri pada 2022 iaitu RM35.2 bilion dan geran daripada Kerajaan Persekutuan merangkumi pemberian per kapita. Bayaran perkhidmatan terimaan bukan hasil adalah sebanyak RM8.8 bilion.
Soalan saya, apakah kita mempunyai rancangan untuk menyemak- beberapa geran dan pembayaran yang disalurkan kepada negeri? Sebagai contoh, semakan terhadap pemberian geran per kapita yang lebih tinggi dan setara dengan situasi pasca pandemik yang dilalui ketika ini. Mohon penjelasan daripada kementerian. Sekian, terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua
Terima kasih Yang Berhormat.
Sekarang ini saya menjemput Yang Berhormat Senator Datuk Dr. Awang bin Sariyan untuk berbahas.
Datuk Seri Prof. Emeritus Dr. Awang bin Sariyan
Terima kasih Datuk Yang di- Pertua. Pertamanya, saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah pada pimpinan negara yang telah menubuhkan suatu pelan yang berkaitan dengan soal pelaksanaan kewangan awam dan tanggungjawab fiskal.
Dengan menghayati mukadimah Timbalan Menteri itu tadi, ada benarnya bahawa ini merupakan suatu gagasan baharu. Maka ini menunjukkan satu lonjakan yang barangkali sebelum ini kurang diberi perhatian dalam pimpinan negara untuk memastikan pelaksanaan kewangan awam dan juga fiskal negara itu dilaksanakan dalam konteks adanya satu mekanisme yang jelas, teratur dan terancang.
Namun demikian, pada hemat saya seperti juga yang disebut oleh Yang Berhormat sebelum ini, perhatian kita kepada soal penghayatan akan objektif dasar fiskal yang disebut dalam RUU ini, pada hemat saya perkara yang sangat penting. Bukan sekadar satu pernyataan tentang tiga hal, iaitu memastikan kemapanan kewangan awam, memelihara kestabilan makro ekonomi dan melindungi kesejahteraan rakyat.
Objektif ini suatu yang unggul tetapi tidak mudah untuk direalisasikan andai kata tidak ada penghayatan oleh penggerak ataupun pelaksana bagi pencapaian ketiga-tiga objektif itu. Dan yang lebih penting dalam soal ini ialah soal mengaitkan objektif-objektif itu dengan dasar-dasar negara. Falsafah pembinaan dan pembangunan negara yang andai kata tidak difahami dengan cukup mendalam oleh tenaga penggerak atau pelaksananya, maka objektif itu tidak mungkin tercapai.
Ini terkait rapat dengan soal kekangan-kekangan yang telah pun disentuh oleh Yang Berhormat sebelum ini. Soal isu-isu yang berkaitan dengan ketirisan, soal ketidakcekapan dalam pelaksanaan program dan projek, soal ketidakikhlasan, ketiadaan amanah seperti yang disebut oleh Yang Berhormat itu tadi. Saya kira ini perkara yang sangat penting. Ertinya, pemahaman, penghayatan terhadap dasar-dasar negara, falsafah pembangunan negara itu sangat penting. Pembangunan negara tidak mungkin dapat dilaksanakan secara mekanis semata-mata.
Maka dalam konteks ini, sebagaimana yang dikatakan oleh Yang Berhormat Tuan Musoddak itu tadi, soal indeks kesejahteraan negara itu harus diukur dan didasarkan pada indeks yang menggambarkan kesejahteraan yang hakiki. Bukan sekadar soal KDNK, soal pencapaian pendapatan, tetapi indeks kesejahteraan yang insani sifatnya, yang menyentuh soal kesejahteraan sebagai kesejahteraan yang menyeluruh, yang holistik.
Bukan semata-mata kesejahteraan berdasarkan pencapaian kebendaan.
Dalam konteks ini saya menyokong penuh pandangan semua Yang Berhormat yang telah berucap, berbahas, keperluan suatu kaedah pemantauan yang telus dan tulus dan tentulah perlu melibatkan bukan sekadar pihak-pihak eksekutif, tetapi pihak yang dapat memberikan gerakan semak dan imbang seperti penglibatan Dewan Negara itu sendiri yang tidak harus- yang selama ini seolah-olah dikatakan rubber stamp, suatu dakwaan yang palsu, yang harus dibuktikan dengan penyertaan dan penglibatan para Senator dalam Jawatankuasa Pemantau itu.
Dalam soal penilaian, pemantauan, itu harus ada satu tindakan yang tegas dan keras. Andai kata berlaku satu ketirisan, satu pecah amanah dan sebagainya untuk dapat dilakukan satu perancangan semula, satu rekayasa agar perancangan pembangunan negara dapat digerakkan berdasarkan satu kaedah yang benar-benar telus dan tulus.
Datuk Seri Prof. Emeritus Dr. Awang bin Sariyan
Ada 40 saat. Saya ingin menyertai- ada dua, tiga poin lagi, tetapi saya ingin menyertai jual beli pantun, meraikan kehebatan Yang Berhormat Menteri sebagai pemantun dan juga sahabat saya Senator Datuk Mujahid.
Semerbak mewangi bunga melati, Subur mekar segar terkembang; Kewangan negara dipantau rapi, Rakyat sejahtera negara gemilang. Terima kasih, Tuan Yang di-Pertua. Saya mohon menyokong.
Timbalan Yang di-Pertua
Terima kasih YB.
Sekarang ini saya menjemput YB Senator Tan Sri Dato’ Low Kian Chuan untuk berbahas.
Tan Sri Dato’ Low Kian Chuan
Terima kasih Dato’ Yang di-Pertua kerana memberi saya peluang untuk membahaskan Rang Undang-undang Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 (RUU KATF) di Dewan yang mulia ini.
Saya sokong penuh penggubalan rang undang-undang ini yang menjadikan kerajaan lebih berdisiplin dan berhemat dalam pengurusan kewangan fiskal serta memastikan ekonomi negara diurus dengan lebih baik. Akta KATF menunjukkan bahawa kerajaan komited atas prinsip pertanggungjawaban untuk mengawal kedudukan defisit fiskal selama 27 tahun berturut-berturut sejak tahun 1998 termasuk menangani permasalahan hutang dan liabiliti berjumlah sebanyak RM1.57 trilion bersamaan dengan 81.6 peratus daripada KDNK pada akhir bulan Jun 2023.
Kerajaan mesti membina semula ruang fiskal- fiscal space yang sempit supaya lebih bersiap sedia untuk menangani kejutan luaran pada masa depan. Namun begitu, pelaksanaan penyatuan fiskal harus berterusan dan secara beransur-ansur supaya ia tidak menjejas pertumbuhan ekonomi ketika berdepan persekitaran global yang masih mencabar dan tidak menentu.
Dato’ Yang di-Pertua, saya ingin kemukakan beberapa soalan berkenaan dengan RUU KATF 2023. Pertama, kebolehlaksanaan objektif fiskal yang disenaraikan dalam Jadual Pertama RUU, khususnya defisit sama atau kurang tiga peratus dan paras hutang kurang atau sama 60 peratus daripada KDNK.
Belanjawan 2024 telah memperkenalkan inisiatif hasil baharu, antaranya cukai keuntungan modal atau pelupusan saham syarikat tidak tersenarai, cukai barang bernilai tinggi, cukai barang mewah dan kenaikan kadar cukai perkhidmatan serta perluasan skop cukai perkhidmatan. Di samping itu, pelaksanaan subsidi bersasar dan liberalisasi kawalan harga akan bantu kurangkan beban kewangan. Kerajaan seharusnya merangka strategi perluasan asas cukai yang lebih mampan, responsif, telus dan saksama.
Pada pandangan saya, asas cukai penggunaan- consumption tax yang luas, cukai barangan dan perkhidmatan (GST) boleh dipertimbangkan. Kerisauan tentang regresif. Cukai GST boleh diatasi dengan pengecualian cukai atas barangan keperluan utama serta pemberian baucar GST. GST terbukti jauh lebih cekap, telus dan adil berbanding dengan cukai jualan dan perkhidmatan (SST).
Dato’ Yang di-Pertua, fiskal 27 KATF membenarkan Yang Berhormat Menteri Kewangan merangka pelan pelaksanaan fiskal dalam keadaan di mana objektif sasaran fiskal tidak tercapai tertakluk kepada budi bicara Dewan Rakyat.
Persoalannya, penetapan sasaran fiskal dan perincian rangka-rangka penyatuan fiskal mestilah telus dan munasabah demi meyakinkan pelabur mengenai dasar- banyak saya prepare… [Ketawa]
Timbalan Yang di-Pertua
Masa dah habis, tetapi saya berikan masa sikit untuk YB menggulung- 30 saat...
[Ketawa] Saya tahu YB tengah tengok tiap-tiap helaian mana satu nak cakap itu.
Tan Sri Dato’ Low Kian Chuan
Okeylah, saya menyokong...
[Ketawa] Lagi dua- 10 minit saya sediakan. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua
[Ketawa] Terima kasih, YB.
Sekarang ini saya jemput YB Senator Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai untuk berbahas.
Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai
Terima kasih kepada Dato’ Seri Yang di- Pertua.
Memang kita sedar bahawa tanggungjawab fiskal adalah skop kerja dan tugasan utama Kementerian Kewangan. Saya juga percaya setiap kementerian perlu mengambil pendekatan kolektif dalam memenuhi keperluan tanggungjawab fiskal terutamanya apabila Malaysia sekarang berhutang lebih RM1 trilion dan menurut sebuah kajian badan pemikir, Malaysia juga telah mengalami kerugian sebanyak RM1 trilion dalam jangka masa 25 tahun yang disebabkan oleh ketirisan wang dan amalan rasuah.
Pelbagai isu audit dan susulan yang pernah dibangkitkan dengan penyalahgunaan wang dalam sektor awam. Saya tidak menafikan bahawa RUU KATF 2023 ini merupakan sesuatu yang progresif daripada segi pengurusan kewangan awam, tetapi cuma saya nak tanya kerajaan, apakah mekanisme menyeluruh yang digunakan atau diguna pakai oleh kementerian dalam perangkaan RUU ini agar tiada kelemahan yang boleh dieksploitasi oleh ahli politik atau pun penjawat awam yang kurang bertanggungjawab?
Setiap pendekatan yang dibawa oleh kementerian memerlukan jaminan kukuh kepada rakyat dan ia perlu bermula di peringkat eksekutif kementerian kerana mereka adalah dipilih oleh rakyat. Kita kena faham akan pentingnya seorang Menteri penuh dalam sesebuah portfolio. Lebih-lebih lagi portfolio tersebut merupakan yang paling kanan di peringkat kerajaan. Malaysia dan rakyatnya memerlukan seorang Menteri Kewangan sepenuh masa, bukannya part timer, dengan izin.
Kita tidak mahu seorang Menteri Kewangan separuh masa yang mempunyai tugasan utamanya sebagai Perdana Menteri dan kebanyakan masanya seolah-olah dia memangku jawatan Menteri Luar Negeri.
Seperti contoh, untuk makluman Ahli-ahli Senator Dewan yang mulia ini, Perdana Menteri kita telah ke luar negara sebanyak 22 lawatan rasmi, 14 buah negara dan selama 52 hari dalam masa setahun.
Untuk makluman Ahli-ahli Dewan Negara, termasuk hari inilah, PMX kita di Thailand pula. Oleh itu, Malaysia memerlukan seorang Perdana Menteri yang sepenuh masa yang prihatin dan menyelesaikan isu domestik negara kita, serta seorang Menteri Kewangan yang boleh fokus sepenuh masanya dalam memperbaiki agenda fiskal negara tanpa sebarang halangan konflik tanggungjawab.
Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai
Tuan Yang di Pertua, ketika kita bincang tentang kemapanan pengurusan kewangan awam, kita juga perlu berbincang mengenai sumber hasil pendapatan penting negara iaitu hasil berkaitan minyak petroleum. Pada tahun ini 2023 hasil berkaitan petroleum berjumlah RM69.1 bilion, sebanyak 23 peratus daripada hasil kerajaan dan 3.8 peratus daripada KDNK tahun ini. Jumlah sebanyak RM69.1 bilion ini besar dan bakal memanfaatkan rakyat, it should be beyond short term subsidy, dengan izin, kalau diurus secara lestari.
Dalam senario yang berbeza, yang rizab petroleum kita dijangka habis dalam tempoh seawal 15 tahun. Bila tiba masa ini kemungkinan kerajaan pada masa kini akan mengalami kesukaran untuk membiayai subsidi projek pembangunan dan sebagainya.
Dasar dalam subsidi terpilih saya sokong, jangan tergesa-gesa panduan dan melaksanakan memerlukan satu penajaman alternatif yang terbaik.
Demi generasi yang akan datang, saya cadangkan RUU KATF 2023 dengan mengambil kira mekanisme pengurusan hasil berkaitan petroleum contohnya, penubuhan dana warisan petroleum ataupun sovereign oil fund, seumpamanya sistem pengurusan hasil berkaitan petroleum di Norway supaya Malaysia dapat menjamin masa depan generasi yang akan datang. With sustainable fiscal sense in managing our oil and gas revenue, the future of our future generations will be secure, dengan izin. Tuan Yang di Pertua, beralih kepada pengurusan hasil dana petroleum.
Timbalan Yang di-Pertua
Yang Berhormat, masa sudah habis.
Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai
Oh, cepat sangat...
[Ketawa]
Timbalan Yang di-Pertua
Saya sudah berkali-kali cakap lima minit Yang Berhormat.
Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai
Oleh itu...
Timbalan Yang di-Pertua
Sila gulung Yang Berhormat, tadi Tan Sri dia gulung bila masa dia sudah habis.
Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai
Oh, okey lah. Tuan Yang di Pertua, saya tidak menafikan bahawa rang undang-undang ini merupakan langkah yang baik dalam memastikan kemapanan pengurusan fiskal negara kita, tetapi seperti yang saya senaraikan tadi terdapat aspek yang memerlukan penambahbaikan sebelum ia nya dapat diluluskan. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua
Terima kasih Yang Berhormat.
Sekarang ini saya jemput Yang Berhormat Senator Datin Hajah Ros Suryati binti Alang untuk berbahas.
Datin Hajah Ros Suryati binti Alang
Terima kasih Tuan Yang di Pertua, Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, terlebih dahulu saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Tuan Yang di Pertua atas peluang untuk turut mengambil bahagian dalam perbahasan kali ini berkenaan Rang Undang-undang Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023.
Tuan Yang di Pertua, saya menyambut baik usaha Kerajaan Perpaduan Malaysia untuk membentangkan rang undang-undang ini untuk tujuan mengadakan peruntukan bagi kebertanggungjawaban tadbir urus dan ketelusan kerajaan dalam mengurus kewangan awam dan risiko fiskal. Seperti mana yang kita maklum, rang undang-undang ini secara khususnya berkait rapat dengan hasil, perbelanjaan, pinjaman dan hutang, melaporkan dokumen belanjawan tahunan dan penerbitan dokumen lain dan perkara- perkara lain berkaitan.
Secara umumnya saya melihat rang undang-undang ini sebagai satu langkah yang baik untuk mempromosikan budaya tata kelola yang lebih baik dan telus. Tuan Yang di Pertua, dalam mendepani cabaran ekonomi global, adalah penting untuk negara kita mempunyai satu- dasar fiskal yang bertanggungjawab untuk memastikan kemapanan kewangan awam, memelihara kestabilan mikroekonomi, di samping melindungi kesejahteraan rakyat.
Perkara ini saya lihat selaras dengan agenda tata kelola yang baik yang dapat meningkatkan lagi keyakinan pelabur terhadap negara kita di samping menjamin tahap integriti yang tertinggi dalam aspek pengurusan negara. Antara lain objektif rang undang- undang ini yang menarik minat saya adalah untuk memastikan perbelanjaan pembangunan tahunan minimum yang dilakukan sebagai peraturan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi menjana pertumbuhan ekonomi. Ini saya lihat cukup penting dan mustahak bagi menjamin mana-mana kerajaan pun akan melaksanakan perbelanjaan pembangunan tahunan secara lebih bertanggungjawab selaras dengan kadar KDNK negara.
Kita tidak ingin untuk mana-mana kerajaan untuk terlalu overspend, dengan izin Tuan Yang di-Pertua, atau terlalu berjimat cermat dalam soal mengurus pembangunan rakyat selaras dengan kadar KDNK negara yang semakin hari semakin tidak menentu akibat faktor luaran. Di sini, kita perlu lihat tanggungjawab kita sebagai sebuah kerajaan bukan lagi terhad kepada aspek perbelanjaan pembangunan semata-mata namun juga merangkumi aspek perbelanjaan secara teratur, telus dan bertanggungjawab demi kepentingan rakyat.
Kita tidak mahu lagi terpaksa dengan tata kelola yang buruk atas nama pembangunan sehinggakan negara terpaksa berdepan dengan hutang yang cukup tinggi ketika ekonomi negara berdepan dengan ketidaktentuan. Dengan adanya rang undang- undang ini saya berpendapat ia nya akan menjadi satu guideline, dengan izin, untuk mempromosikan tanggungjawab kewangan negara yang lebih baik.
Selain itu, dengan adanya rang undang-undang ini kerajaan juga harus berusaha untuk mencapai baki fiskal yang mampan di samping mengehadkan pendedahan negara kepada risiko fiskal berhubung dengan apa-apa jaminan kewangan.
Tuan Yang di Pertua, kita sedia maklum akan bertapa besar dan buruknya kesan terhadap ekonomi negara bila mana pengurusan pembangunan dilaksanakan secara tidak bertanggungjawab. Ya benar, hasilnya melimpah dan pembangunan negara terjamin serta kebaikan rakyat terbela dalam jangka masa pendek namun kesannya dalam jangka masa panjang yang cukup besar.
Rakyat terutamanya golongan muda yang bakal mewarisi negara kita daripada kita pada suatu hari ini terpaksa berdepan dengan hutang-hutang yang terlalu tinggi. Oleh itu, saya melihat Rang Undang-undang Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 ini sebagai satu langkah berani dari kerajaan untuk memupuk nilai tanggungjawab kewangan yang utuh dan menyeluruh demi merencana sebuah ekonomi negara yang mempunyai amalan tata kelola yang tinggi.
Sedikit, dengan menjadi sebuah negara yang mempunyai amalan tata kelola yang tinggi, saya cukup yakin bahawa kita akan dapat meyakinkan lebih ramai pelabur untuk datang masuk melabur ke Malaysia demi manfaat rakyat kita semua. Dengan ini Tuan Yang di Pertua, saya mohon menyokong, sekian terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua
Terima kasih Yang Berhormat.
Sekarang ini saya jemput Yang Berhormat Senator Tuan Abun Sui Anyit untuk berbahas.
Tuan Abun Sui Anyit
Jam di...
Timbalan Yang di-Pertua
Nak habiskan ker atau pun nak sambung?
Tuan Abun Sui Anyit
Jam di sana hanya satu minit sahaja.
Timbalan Yang di-Pertua
Tahu, tahu, tetapi nak ucap lepas itu tangguh, petang karang sambung balik atau nak habiskan?
Tuan Abun Sui Anyit
[Ketawa] Nanti selepas inilah, boleh awalkan?
Timbalan Yang di-Pertua
[Ketawa] Okey baik, memandangkan permintaan daripada Yang Berhormat Abun, dia hendak berbahas pada jam 2.30. Saya rasa elok juga kalau kita tangguhkan Dewan sementara waktu untuk kita kembali semula pada jam 2.30.
Terima kasih.
[Mesyuarat ditempohkan pada pukul 12.59 tengah hari]
[Mesyuarat disambung semula pada pukul 2.30 petang]
Timbalan Yang di-Pertua
[Tuan Yang di-Pertua mempengerusikan Mesyuarat]
Tuan Yang di-Pertua
Yang Berhormat, saya jemput Yang Berhormat Senator Tuan Abun Sui Anyit.
Tuan Abun Sui Anyit
Terima kasih Tan Sri Yang di-Pertua kerana memberi peluang kepada saya untuk membahaskan Rang Undang-undang Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah dan syabas kepada Kerajaan Madani pada hari ini kerana memperkenalkan undang-undang ini yang sangat diperlukan walaupun lewat, tetapi better late than never.
Jadi undang-undang ini saya percaya tujuannya adalah untuk mengawal segala perolehan dan juga perbelanjaan di dalam negara ini seperti yang tercatat dalam fasal yang kelima. Jadi huraiannya seperti dalam jadual di muka surat 28 ataupun Jadual Pertama. Jadi justeru itu, saya ingin juga menyentuh tentang beberapa fasal iaitu 28, 29, 30 dan 31 di mana jawatankuasa telah dinyatakan di sana dan ada juga jawatankuasa- jawatankuasa kecil yang bakal diadakan juga.
Saya ingin bertanya kepada kerajaan ataupun kementerian, siapakah mereka yang diambil sebagai ahli dalam jawatankuasa kecil ini? Saya percaya jawatankuasa yang telah dicadangkan kepada kita dalam rang undang-undang ini mereka yang memang selayaknya. Juga, saya juga ingin menyokong saudara kita ataupun Yang Berhormat yang sebelum ini supaya Ahli Dewan Negara juga perlu dilibatkan di dalam jawatankuasa di peringkat pusat ini.
Saya ingin bertanya tentang jawatankuasa kecil, siapakah mereka?
Bagaimanakah cara untuk mereka dipilih? Supaya tidak ada lagi masalah-masalah seperti ketirisan dan juga penyalahgunaan kuasa dan juga projek-projek yang tidak siap dan sebagainya, yang menyebabkan orang-orang yang biasa, mungkin mereka yang sudah biasa dalam hal ketirisan ini, takut-takut nanti mereka juga yang akan menganggotai jawatankuasa kecil ini.
Jadi, justeru itu saya berharap supaya kerajaan membuat satu- dasar pemilihan Ahli Jawatankuasa di Peringkat Jawatankuasa Kecil ini. Walaupun namanya jawatankuasa kecil, tetapi saya sangat percaya perkara ini adalah sangat-sangat penting kerana jawatankuasa kecil inilah yang saya percaya akan mengagihkan, akan mengatur segala perbelanjaan yang sampai ke akar umbi. Justeru itu, kita mesti berhati-hati di dalam melantik mereka yang ada di dalam jawatankuasa kecil ini.
Rang undang-undang ini juga, saya percaya adalah untuk mengatur ataupun mengelak ketirisan. Saya ingin juga bertanya kepada kerajaan, sama ada dengan rang undang-undang ini ada memberi kuasa kepada Menteri Kewangan untuk berbelanja yang sewajarnya. Mungkin jumlahnya besar di sesuatu tempat ya tanpa terlalu terikat dengan keadaan seperti selama ini di mana kita selalu melihat berapa negeri ini dapat, berapa negeri itu dapat.
Jadi ini bagi saya, saya harap undang-undang ini akan juga memberi satu kuasa kepada Menteri Kewangan untuk berbelanja supaya negara ini dimajukan ataupun projek- projek besar mega dilaksanakan di semua tempat, supaya rakyat menikmati hasil daripada kemakmuran dalam negara ini di mana-mana tempat. Contohnya, kalau di Semenanjung ini kita bangga dengan highway, dengan izin ya. Dari Perlis sampai ke Johor ada empat lane sekurang-kurangnya. Di Sarawak kita tidak ada empat lane ini ya.
Jadi justeru itu, saya sangat berharap supaya dengan adanya rang undang- undang ini nanti dan diluluskan, saya percaya saya haraplah ia nya digunakan juga untuk melihat kepada keperluan satu buah negara kita ini. Jangan hanya di Semenanjung sahaja kita yang maju sekali, tetapi di Sabah dan Sarawak, kita kurang maju. Jadi justeru itu, saya berharap supaya undang-undang ini tidak indah khabarnya, tetapi pelaksanaannya masih kurang ya.
Jadi justeru itu, saya berharap supaya undang-undang ini akan digunakan sebaiknya dengan tata kelola, dengan mengurangkan ketirisan dan juga akan menguntungkan semua pihak hingga ke akar umbi. Jadi justeru itu, saya sangat bersyukur kerana perkara ini sudah diperkenalkan kepada kita pada hari ini. Saya berharap ia nya akan dilaksanakan dengan baik oleh kerajaan yang ada sekarang ini. Dengan itu, saya menyokong. Terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua
Terima kasih Yang Berhormat.
Sekarang saya menjemput Yang Berhormat Senator Tuan Haji Abdul Nasir bin Haji Idris.
Tuan Haji Abdul Nasir bin Haji Idris
Bismillahi Rahmani Rahim.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera Tan Sri Yang di-Pertua.
Pertamanya, saya mengucapkan terima kasih kerana diberikan peluang untuk sama- sama membahaskan RUU Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal bagi tahun 2023.
Tan Sri Yang di-Pertua, dasar fiskal telah memainkan peranan penting dalam menyokong momentum pemulihan ekonomi dan meringankan beban rakyat selain daripada menentukan hala tuju pengurusan kewangan awam. Hari ini Kerajaan Madani membawa pacuan yang dipaksikan yang disebut atas pertanggungjawaban- accountability, tanggungjawab- responsibility, ketulusan- transparency, dan juga kesaksamaan dalam menguruskan kewangan kerajaan. Sewajarnya setiap proses yang dilaksanakan tersebut mestilah diberikan pendedahan secara terbuka untuk perubahan sepanjang kontrak berjalan.
Tuan Haji Abdul Nasir bin Haji Idris
Misalnya, apabila perubahan harga ataupun ubah suai sesuatu untuk memberi sesuatu memberikan maklumat untuk kita semak dan imbang apabila dibentangkan dalam perolehan.
Tan Sri Yang di-Pertua, soalan saya adakah Akta Perolehan yang dirancang tadi oleh kerajaan bakal dibentangkan tahun depan? Mengambil kira tentang kelemahan- kelemahan sistem sedia ada yang melibatkan semak dan imbang sesuatu pemberian kontrak.
Seksyen 30 iaitu antaranya untuk menyelia secara fiskal, menimbang teliti dan mencadangkan dasar kepada kerajaan, memastikan pelaksanaan dasar fiskal adalah selaras dengan prinsip pengurusan fiskal yang bertanggungjawab seharusnya merupakan satu Jawatankuasa yang bebas.
Seksyen 29 menyatakan ahli Jawatankuasa Dasar Fiskal ini kita lihat bahawa ia akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri. Seksyen 28 menyatakan jawatankuasa ini boleh mengemukakan syor kepada Jemaah Menteri. Saya berpandangan bahawa perlu ada lebih kebebasan kepada jawatankuasa ini untuk melihat kepada kuasa-kuasa yang besar ini.
Saya juga bersetuju dengan saranan yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Senator kita, sahabat-sahabat Senator kita yang perlu dilibatkan bersama di kalangan Senator kita dalam jawatankuasa yang berkenaan.
Tuan Yang di-Pertua, saya mencadangkan perlu ada pelaporan mandatori kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen bagi meningkatkan tahap ketelusan, transparent serta meningkatkan pengawasan rapi bagi setiap perolehan terutamanya kepada perkara-perkara yang tidak boleh didedahkan kepada umum.
Seterusnya saya memuji usaha yang berkaitan dengan pelaporan dalam seksyen 32 yang mengehendaki seorang Menteri menyediakan Laporan Prestasi Perbelanjaan Pertengahan Tahun, Penyata Risiko Fiskal, Penyata Perbelanjaan Cukai Tahunan dan Pelan Mitigasi sekiranya berkenaan.
Soalan saya apakah tindakan yang bakal diambil oleh kerajaan sekiranya terdapat ketirisan dan masalah sepanjang pelaporan berlaku? Antara objektif utama yang perlu dicapai bagi menyebut perkara fiskal merupakan negara mendapat hasil yang mencukupi, mampan, cekap dan berdaya saing.
Namun begitu, saya memberikan penekanan berkenaan dengan prinsip keadilan khususnya dalam penjanaan hasil dan kadar percukaian. Maka, aspek keadilan cukai perlu dititikberatkan dalam Fasal 10(2) tanpa disampingkan pentingnya dasar hasil yang mampan dan terjamin supaya kebajikan rakyat dan pembangunan negara dapat dilaksanakan dengan secara mampan dan terjamin.
Seterusnya, sejauh mana perancangan kerajaan untuk menambah atau meluaskan asas hasil untuk memastikan peruntukan hasil yang mampan di mana Perbelanjaan Mengurus dapat dibiayai menerusi hasil negara? Sekian, terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua
Terima kasih Yang Berhormat.
Saya jemput Yang Berhormat Senator Dato’ Sivaraj.
Dato’ Sivaraj a/l Chandran
Salam Sejahtera, Salam MADANI. Terima kasih Tan Sri Yang di-Pertua kerana telah memberi peluang kepada saya untuk berbahas Rang Undang-undang Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023.
Rang undang-undang ini menunjukkan komitmen kerajaan dalam melaksanakan reformasi fiskal bagi membawa ekonomi ke landasan yang betul dan efisien. Ia juga membantu meyakinkan pelabur-pelabur luar negara dan dalam negara serta pengurusan fiskal yang lebih telus dan transparent. Komponen-komponen seperti perbelanjaan awam, pengurusan hutang dan pinjaman, pengurusan risiko amatlah penting dalam memastikan atau meyakinkan rakyat dan juga pelabur bahawa kerajaan memberi kepentingan dan juga komitmen dalam membetulkan keadaan kewangan negara.
Tan Sri Yang di-Pertua, seperti yang saya kata tadi, langkah ini akan membantu pertumbuhan ekonomi selaras dengan unjuran yang dijangka iaitu untuk mengurangkan hutang negara di bawah paras 60 peratus yang kini merupakan 72.5 peratus dari KDNK atau RM1.05 trilion. Ia lebih daripada kehendak Fitch Ratings iaitu ia harus berada di bawah 60 peratus ke bawah. Jadi, untuk kita kekalkan rating kita in B+ table, jadi kita harus memastikan hutang negara itu di bawah ke paras 60 peratus.
Maka, RUU ini rang undang-undang ini akan membantu dan juga akan memastikan untuk negara membawa hutang negara kita ke paras yang lebih selamat atau yang lebih dihendaki oleh agensi-agensi antarabangsa seperti Fitch dan sebagainya.
Objektif dasar fiskal adalah untuk memastikan kemapanan kewangan awam mencapai kestabilan makroekonomi dan melindungi kesejahteraan rakyat. Itulah objektif-objektifnya.
Maka, kita harus memastikan pelaksanaan akta ini mencapai matlamat-matlamat atas. Untuk memastikan matlamat-matlamat tersebut dicapai, kita memerlukan satu delivery system, dengan izin, yang efisien dan disiplin yang tinggi daripada sumber lapisan agensi yang terlibat dalam merancang, melaksana, memantau rang undang-undang ini dengan rapi.
Salah satu aspek yang saya rasa amat penting dalam RUU ini merupakan aspek hutang negara. Di mana hutang negara, jaminan kerajaan dan pembayaran hutang 1MDB telah bertambah kepada lebih 12.5 peratus dari GDP. Sebelum rang undang-undang dibentangkan, dilaksanakan, saya percaya kerajaan telah kehilangan berbilion-bilion Ringgit duit rakyat melalui jaminan-jaminan kerajaan terhadap syarikat-syarikat dan entiti- entiti yang tidak mampu menyiapkan projek-projek atau disebabkan penyalahgunaan dan ketirisan.
Maka, saya cukup yakin dengan Akta FR ini kita dapat menjimatkan atau menyelamatkan dana kerajaan yang juga duit rakyat daripada hilang atau dibelanjakan dengan tidak efisien.
Selain itu Tan Sri Yang di-Pertua, saya juga yakin RUU ini akan meyakinkan dan menaikkan pelaburan asing atau FDI ke dalam negara selepas ini kerana keyakinan pelabur terhadap pengurusan kewangan negara dan kecekapan kerajaan dalam mengurangkan ketirisan dan peningkatan keefisienan kerajaan dan agensi-agensi kerajaan akan meningkat dan menggalakkan mereka melabur berbilion ringgit tanpa keraguan terhadap kestabilan pelaburan mereka di dalam negara ini.
Tan Sri Yang di-Pertua, komponen-komponen seperti perbelanjaan awam, pengurusan pinjaman dan hutang pengurusan risiko serta jaminan kerajaan merupakan aspek-aspek yang penting dalam memastikan pengurusan ekonomi negara berada di dalam landasan yang cekap, telus dan baik.
Bagi saya, saya cukup setuju dengan pelaksanaan dalam rang undang-undang ini, tetapi cuma ingin mengetahui beberapa atau apakah tindakan, action yang mungkin diambil oleh kementerian atau kerajaan jika penyimpangan daripada objektif asal rang undang-undang ini sering berlaku akibat ketidakefisienan pegawai atau jawatankuasa pengelola or failure of delivery machinery, dengan izin.
Keduanya, bagaimana kerajaan ingin memastikan peratus ketidakcapaian objektif itu dikurangkan. Walaupun saya percaya pada tahun-tahun permulaan mungkin sukar untuk mencapai atau melaksanakan rang undang-undang ini secara 100 peratus efficiency atau flawless, dengan izin. Maka, kerajaan harus mengambil langkah-langkah proaktif untuk mengatasi situasi-situasi sebegini sehingga pelaksanaan RUU ini menjadi matang dan sistematik.
Ketiga, saya melihat tanggungjawab Menteri dalam pelaksanaan rang undang- undang ini amatlah besar dan berat. Maka, saya berharap Jawatankuasa Dasar Fiskal yang dilantik kelak itu akan dapat membantu mengurangkan beban kerja Menteri dalam melaksanakan rang undang-undang tersebut.
Memandangkan kesuntukan masa perbahasan, saya telah membangkitkan beberapa isu yang saya lihat perlu diberi perhatian oleh pihak kerajaan dan kementerian.
Tan Sri Yang di-Pertua adalah besar harapan saya agar Kementerian Kewangan dapat menggerakkan rang undang-undang ini dengan baik dan tepat agar rakyat di bawah tidak merana atas kesempitan ekonomi dan kewangan yang jelas terjejas.
Dato’ Sivaraj a/l Chandran
Dengan itu Tuan Yang di-Pertua, saya menyokong Rang Undang-undang Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 untuk memastikan Menteri lebih bertanggungjawab, accountable, transparent dan saksama dalam mengurus kementerian dan kewangan negara. Sekian, terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua
Terima kasih Yang Berhormat.
Saya jemput Yang Berhormat Senator Tuan Mohd Hasbie bin Muda.
Tuan Mohd Hasbie bin Muda
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan selamat petang. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua atas peluang untuk turut sama membahaskan mengenai Rang Undang-undang Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023.
Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan terima kasih kepada Menteri atas usaha untuk mengadakan rang undang-undang sebegini. Sebagai pemimpin belia, mewakili belia yang juga merupakan generasi pewaris negara pada masa akan datang, sudah tentulah RUU ini sangat kami hargai kerana kita tidak mahu kerajaan pada hari ini membina begitu banyak hutang dan generasi pada masa akan datanglah yang akan membayarnya.
Jadi walau bagaimanapun, kita juga memahami bahawa hutang-hutang yang dicipta ini, yang dibuat ini, ada hutang yang penting, yang boleh memberikan pulangan ataupun kesan pengganda kepada ekonomi kita. Cuma ada beberapa perkara yang saya fikir memerlukan penjelasan daripada Menteri.
Yang pertamanya, dalam empat objektif ataupun inti pati utama kepada rang undang-undang ini ialah objektif fiskal yang telah ditetapkan. Saya hendak sentuh yang pertama. Agak canggung apabila kerajaan meletakkan sasaran perbelanjaan pembangunan tahunan yang dilakukan itu, peratus kepada KDNK pada tiga peratus.
Waktu kita bahaskan KSP RMKe-12, kita menaikkan kita punya siling perbelanjaan kita daripada RM400 bilion kepada RM415 dan jumlah perbelanjaan pembangunan dalam RMKe-12 dalam tempoh lima tahun ini hampir dua kali ganda berbanding dalam RMKe- 11 dan juga RMKe-10.
Jadi, pada satu masa kita menaikkan kita punya perbelanjaan pembangunan untuk menjana ekonomi kita kesan pasca pandemik dan sebagainya, tetapi dalam RUU ini kita meletakkan paras minimum sebagai objektif fiskal yang kita hendak sasarkan. Jadi, saya fikir ini satu benda yang janggal dalam kita merangka RUU ini. Itu yang pertama.
Yang keduanya, kalau boleh dicadangkan kerana isu dan dilema kerajaan dalam pengurusan fiskal ini ialah pertambahan subsidi yang melambung dalam tempoh terdekat ini. Kalau kita tengok dalam tempoh 10 tahun, perbelanjaan yang kita peruntukkan untuk subsidi ialah secara puratanya RM15 bilion setahun, tetapi pada tahun 2022, angka itu mencanak begitu tinggi iaitu mencecah RM70.3 bilion. RM50 bilion itu dalam Perbelanjaan Mengurus dan sudah tentulah kalau kita bercakap soal hendak menguruskan kewangan, subsidi ini saya fikir lebih sepatutnya lebih awal kita kalau disebut untuk korbankan berbanding dengan Perbelanjaan Pembangunan kerana sebagaimana yang saya sebutkan tadi, Perbelanjaan Pembangunan ini, khususnya perbelanjaan dalam sektor ekonomi itu ialah perbelanjaan yang kita harapkan untuk menjana dan mewujudkan kesan pengganda ataupun multiplier effect kepada ekonomi kita. Jadi, kalau ini bercanggah dalam dua sesi Parlimen, saya ingat ini perlu diperjelaskan oleh kerajaan.
Yang keduanya, selain daripada subsidi, saya tercari-cari dalam rang undang- undang kita ialah soal peruntukan kita untuk bayaran pindahan. Yang kita tahu, bayaran pindahan ini ialah peruntukan ataupun perbelanjaan kerajaan untuk individu ataupun pihak yang tidak ada produktiviti.
Umpamanya, kita bayar- saya sebutkan juga tadi subsidi, umpamanya bantuan tunai yang kita beri secara percuma, yang sepatutnya itu yang kita harus kita hadkan.
Saya ambil contoh dari sudut pengurusan bayaran pindahan kita. Dalam tempoh sepuluh tahun ini, kita melihat KDNK kita bertambah lebih kurang dalam 50 peratus. Kita melihat kita punya bantuan kebajikan dalam yang disalurkan melalui JKM. Saya ingat dalam RM1.5 bilion untuk 10 tahun yang lalu, sekarang ini untuk tahun hadapan RM2.4 bilion.
Bayaran BR1M, yang dahulu nama BR1M, sepuluh tahun yang lalu kita bagi RM2 bilion peruntukan, sekarang ini bertambah lima kali- ganda, RM10 bilion. Jadi, saya nampak ada seolah-olah macam perlu diperjelaskan, bagaimana kita menguruskan bayaran-bayaran pindahan ini.
Saya bimbang apabila bertukar kerajaan ataupun bertukar parti yang memerintah, kita bimbang perbelanjaan untuk bayaran pindahan ini, bantuan tunai dan sebagainya menjadi persaingan. Masing-masing hendak bagi makin banyak kepada rakyat untuk meraih undi, sedangkan kewangan kita semakin bermasalah. Kalau dahulu, bayaran pencen kita umpamanya. Bayaran pencen, ganjaran dan juga- pencen dan juga bayaran persaraan kita puratanya dalam lapan ke-sembilan bilion, setahun. Sekarang ini sudah mencecah RM32 bilion. Kita punya emolumen untuk penjawat awam yang memang kita tidak akan kurangkan. Kalau dahulu bermain sekitar RM30 bilion, RM40 bilion, sekarang ini lebih daripada kesan lonjakan KDNK kita.
Dalam tempoh sepuluh tahun, kita melonjak saya ingat dekat 150 peratus, sekarang ini sudah mencecah RM92 bilion. Saya ingat perkara-perkara yang saya sebut ini yang sebahagian besarnya dalam perbelanjaan mengurus, seharusnya juga diberikan perhatian oleh kerajaan dan tidak sewenang-wenangnya meletakkan dan mengorbankan perbelanjaan pembangunan tahunan itu dengan meletakkan sasaran tiga peratus setahun. Terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua
Terima kasih Yang Berhormat.
Saya jemput Senator Puan Rita Sarimah anak Patrick Insol. Minta maaf, Datuk Seri Hajah Zurainah binti Musa.
Datuk Seri Hajah Zurainah binti Musa
Terima kasih Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua kerana mengizinkan saya menyertai perbahasan pindaan terhadap Rang Undang-undang Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023. Ingat tadi terlepas peluang, tetapi alhamdulillah, dapat juga peluang. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Situasi fiskal semasa Malaysia sememangnya dibebani dengan hutang negara yang sedang meningkat serta defisit fiskal yang tinggi. Menurut Dana Monetari Antarabangsa IMF, hutang awam Malaysia bagi tahun 2023 dijangka mencecah 63 peratus daripada KDNK. Ini sudah melebihi had yang ditetapkan sendiri oleh kerajaan iaitu 60 peratus, manakala defisit fiskal pula kini berada di paras 6.4 peratus pada tahun 2022.
Beban hutang yang semakin meningkat ini akan menjadikan cabaran besar terhadap kelestarian fiskal jangka yang panjang di Malaysia.
Saya menyambut baik usaha kerajaan terhadap pembentangan RUU Kewangan Fiskal ini. Ini merupakan satu pendekatan yang lebih berdisiplin terhadap perbelanjaan kerajaan. RUU ini akan menetapkan sasaran yang lebih jelas terhadap perbelanjaan pembangunan tahunan, defisit fiskal serta tahap hutang negara. Sejajar dengan matlamat ekonomi jangka panjang, RUU ini akan menuju negara kita ke arah pengurusan fiskal yang lebih bertanggungjawab.
Tuan Yang di-Pertua, saya tidak akan berbahas panjang. Sememangnya saya melihat dan memuji usaha murni kerajaan pada hari dengan adanya pembentangan RUU ini. Walaupun rang undang-undang ini memberikan impak positif yang sangat besar kepada dasar pengurusan kewangan dan perbelanjaan awam, namun saya mempunyai beberapa soalan, lima secara terperinci.
(i) sebagai konteks, jadual pertama akta ini menetapkan empat sasaran dan objektif fiskal, yakni perbelanjaan pembangunan tahunan sebagai peratusan kepada KDNK hendaklah sekurang- kurangnya tiga peratus;
(ii) defisit fiskal sebagai peratusan kepada KDNK sebanyak tiga peratus atau kurang dalam tempoh tiga ke lima tahun; dan
(iii) paras hutang sebagai peratusan kepada KDNK sebanyak 60 peratus atau kurang dalam tempoh tahun tiga hingga lima tahun dan had jaminan kewangan sebagai peratusan kepada KDNK tidak melebihi 25 peratus sahaja.
Persoalan saya Yang Berhormat ialah satu, saya mohon perincian berkenaan pengiraan jaminan dan hutang syarikat berkaitan kerajaan iaitu GLC, dengan izin, dan badan berkanun- statutory body. Apakah pinjaman dan jaminan mereka tertakluk di bawah akta ini? Satu, ya. Jika tidak, saya memohon kerajaan mempertimbangkan jumlah jaminan dan hutang mereka untuk dimasukkan dalam laporan tinjauan fiskal kepada Parlimen.
Datuk Seri Hajah Zurainah binti Musa
Ia juga patut dijadikan salah satu jumlah yang dibentangkan kepada Jawatankuasa Dasar Fiskal untuk pelaporan mereka. Ini bukan untuk memperluaskan skop akta, tetapi demi pelaporan dan pertimbangan sahaja.
Yang kedua, bolehkah kita mempertimbangkan had masa bagi perbahasan dan pelaporan sewaktu krisis berlaku? Saya khuatir dalam situasi yang genting, kerajaan mungkin memerlukan fleksibiliti untuk bertindak dengan pantas. Biarlah kita memasukkan mekanisme pemantauan yang lebih ketat berbanding mekanisme pelaporan dan kelulusan Dewan Rakyat sahaja.
Berkaitan perkara ini juga, berdasarkan akta, ia hanya menyebut, “Pemantauan akan dilakukan oleh Dewan Rakyat” secara khusus. Apakah ini bermaksud ia tidak akan melibatkan Dewan Negara? Ini satu jawapan yang saya ingin tahu ya.
Ketiga, apakah akibat dan kesan, dengan izin, the consequences ya, jikalau kita tidak mencapai matlamat Jadual Pertama akta ini, iaitu empat matlamat tadi, lebih-lebih lagi dalam situasi di mana tiada krisis melanda? Apakah kegunaan akta ini tidak memberikan Parlimen sebarang kuasa intervensi terhad yang sewajarnya jikalau situasi berterusan dan tiada keperluan untuk melaporkan balik prestasi melainkan pada tahun berikutnya dalam laporan tinjauan fiskal?
Keempat, bolehkah kerajaan mempertimbangkan penambahbaikan akta dengan meletakkan objektif fiskal untuk mewujudkan ketetapan mengenai rizab tunai kerajaan, dengan izin, the government’s cash flow reserve di bawah Jadual Pertama? Jikalau rakyat, kita suruh menabung. Mengapakah tidak kerajaan juga ada wang kecemasan tetap? Bak kata pepatah, ‘sediakan payung sebelum hujan’. Sama seperti amalan negara lain seperti di Singapura.
Kelima, apakah perancangan kerajaan untuk mencapai defisit fiskal tiga peratus atau kurang dalam tempoh tiga ke-lima tahun? YB Timbalan Menteri sendiri telah mengatakan di Dewan Rakyat bahawa pencapaian terbaik pengurangan defisit fiskal Malaysia adalah pada tahun 2017 disebabkan adanya pewujudan GST. Adakah ini bermaksud kita akan melihat GST diperkenalkan semula? Atau terdapat perancangan lain untuk menjana pendapatan untuk mengurangkan defisit ini?
Tan Sri Yang di-Pertua, sebelum saya akhiri perbahasan saya, saya berharap rang undang-undang ini akan menjadi sumber kekuatan kerajaan dan bukan suatu penghalang untuk menjadikan negara ini lebih berkembang dan pesat di persada dunia.
Dengan izin, this bill is not merely about numbers. It is about shaping a nation that is fiscally responsible, economically vibrant and a beacon of hope for generations to come. Saya mohon menyokong. Terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua
Terima kasih, Yang Berhormat.
Sekarang baru giliran Yang Berhormat Senator Puan Rita Sarimah.
Puan Rita Sarimah anak Patrick Insol
Terima kasih, Tan Sri Yang di-Pertua, atas peluang yang diberikan kepada saya untuk membahaskan Rang Undang-undang Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal.
Saya juga ingin merekodkan ucapan terima kasih saya kepada Kerajaan Perpaduan kerana telah melanjutkan tempoh khidmat saya sebagai Senator untuk penggal yang kedua...
[Tepuk] Syabas saya ucapkan kepada kerajaan atas usaha menginstitusikan, melalui perundangan, tata kelola, kebertanggungjawaban dan ketelusan dalam pengurusan kewangan awam. Setelah diluluskan oleh Dewan yang mulia ini nanti- saya percaya kita- semua menyokong sesuatu yang baik. Jadi, saya rasa tidak ada sebab mengapa kita tidak meluluskan RUU ini nanti ya. Setelah ia nya diluluskan nanti dan akta ini mula berkuat kuasa, ia meletakkan Malaysia sebagai sebuah negara yang baru membangun atau newly developed nation di kalangan negara-negara maju seperti United Kingdom, New Zealand dan Finland yang mempunyai undang-undang fiskal.
Saya juga percaya, pengoperasian akta ini nanti akan membantu mengembalikan keyakinan atau menambahkan keyakinan rakyat kepada kerajaan dalam menjalankan kewajipan fidusuarinya mengurus kewangan awam. Di persada antarabangsa pula, komitmen kerajaan untuk membaiki pengurusan kewangan awam akan memberi impak yang positif kepada pelabur-pelabur dan setidak-tidaknya ia nya juga membantu untuk membersihkan aib kita akibat daripada skandal-skandal yang telah tersohor di merata dunia.
Tan Sri Yang di-Pertua, rang undang-undang ini dapat dirumuskan kepada empat peraturan- four rules, iaitu peraturan tentang hasil, peraturan berkaitan perbelanjaan, peraturan berkaitan pinjaman dan hutang dan yang keempat, peraturan tentang risiko fiskal.
Jadual Pertama meletakkan had nilai yang dibenarkan untuk memastikan objektif fiskal dikawal dengan berhemat. Demi menjana pertumbuhan ekonomi, kerajaan meletakkan komitmen untuk membelanjakan tidak kurang daripada tiga peratus daripada keluaran dalam negeri kasar sebagai bajet pembangunan.
Untuk mencapai baki fiskal yang mampan, kerajaan menetapkan untuk mencapai baki fiskal tahunan sebanyak tidak lebih daripada tiga peratus daripada KDNK. Bagi paras hutang pula, had yang ditetapkan adalah tidak melebihi 60 peratus daripada KDNK. Akhir sekali, untuk mengehadkan pendedahan kepada risiko fiskal berhubung dengan apa-apa jaminan kewangan, rang undang-undang ini mengehadkan jaminan kewangan sebanyak tidak lebih daripada 25 peratus daripada KDNK.
Jadi, soalan saya adalah, apakah basis yang digunakan untuk menetapkan had- had tersebut? Adakah had-had tersebut berdasarkan best practices atau selaras dengan international financial benchmark? Perkara yang kedua berkaitan dengan had-had pendedahan kepada jaminan kewangan pula. Soalan saya adalah, apakah rasional kerajaan untuk tidak memanjangkan kawalan ini kepada pinjaman yang dibuat oleh entiti atau agensi kerajaan yang tidak termasuk dalam Jadual Kedua? Adakah ia nya terlalu banyak untuk kerajaan lakukan at the same time? Ataupun adakah ia nya akan dibuat secara berperingkat kemudian?
At least, kita hendakkan ada inkling daripada kerajaan tentang pelan perancangan kerajaan untuk memanjangkan pemakaian akta ini khususnya untuk had pendedahan kepada jaminan kewangan kepada entiti-entiti yang ditubuhkan oleh agensi-agensi kerajaan ya.
Oleh sebab hasil kita adalah terhad, manakala perbelanjaan ataupun projek adalah banyak, satu pertanyaan kepada kementerian adalah how do you choose which project to carry out first? Capital rationing. How do you choose? Adakah ia nya berdasarkan projek itu perlu? Iaitu, seperti prasarana, I think semua bersetuju dengan saya jika saya mengatakan bahawa jalan raya itu perlu, hospital perlu, sekolah perlu, klinik dan juga, let say jalan raya, infrastruktur dan sebagainya adalah perlu dengan- ataupun projek-projek yang good to have. Soalan saya begini, sebab saya lihat kalau kita pergi ke tempat-tempat tertentu, terdapat bangunan yang kurang digunakan. Kerajaan membina bangunan tersebut dengan beratus-ratus juta. Saya ambil contoh. I am not singling out any entity, okay, tetapi apa yang saya lihat, terdapat stadium ataupun pusat sukan ataupun dewan yang kurang digunakan yang memakan belanja beratus-ratus juta tetapi kurang digunakan. Since we are talking about penggunaan awam yang berhemat. So, apa perancangan kerajaan untuk memastikan from now onwards, capital rationing itu ataupun projek yang dipilih itu adalah betul-betul diperlukan dan bukan projek yang sekadar good to have? Supaya- kalau kita lihat, terdapat dewan, pusat sukan sekarang ini to maintain merupakan satu perkara yang sukar.
Puan Rita Sarimah anak Patrick Insol
Malahan terdapat pusat sukan yang tidak dapat digunakan kerana telah diputuskan electricity connection to the premises. Soalan saya, saya ingin tahu capital rationing prinsip yang digunakan oleh kerajaan dalam pemilihan projek.
Berkaitan dengan seksyen 26 tentang pelan pelarasan fiskal. Soalan saya, apakah rasional kerajaan untuk tidak membentangkan Pelan Pelarasan Fiskal kepada Dewan Negara? Sahaja nak tahu. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Tuan Yang di-Pertua
Terima kasih Yang Berhormat.
Sekarang saya menjemput Yang Berhormat Senator Tuan Nik Mohamad Abduh bin Nik Abdul Aziz.
Tuan Nik Mohamad Abduh bin Nik Abdul Aziz
Terima kasih Tan Sri Yang di- Pertua. Bismillahi Rahmani Rahim. Alhamdulillah Rabbil alamin. Wassalatu wassalamu ala Rasulillah, wa'ala alihi wasahbihi ajma'in. Izinkan saya memulakan ucapan saya ini dengan baca sepotong ayat al-Quran...
[Membaca sepotong ayat al-Quran] Surah Al-Furqan ayat 67 yang bermaksud iaitu, “Orang-orang yang apabila mereka berbelanja mereka tidak boros dan tidak juga mereka kedekut. Bahkan apabila mereka berbelanja mereka berbelanja secara sederhana.” Terima kasih Tuan Yang di-Pertua kerana izinkan saya untuk turut membahaskan Rang Undang-undang Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023. Ia satu akta yang amat saya alu-alukan kerana ia bersifat penambahbaikan terhadap pengurusan dan kawal selia kewangan negara di mana Parlimen turut dilibatkan memantau bahkan mendisiplinkan pihak kerajaan di dalam memastikan pengurusan kewangan negara dalam keadaan sedar dan responsif kepada segala bentuk ketirisan dan juga kecacatan.
Tuan Yang di-Pertua, dalam pengurusan kewangan sama ada individu ataupun negara, Allah menuntut agar manusia menjauhi dua kerosakan utama iaitu pertama, boros dalam berbelanja, dan yang kedua, sebaliknya iaitu terlalu kedekut dalam berbelanja.
Boros itu akan mensia-siakan harta manakala kedekut pula akan menyekat harta itu sampai kepada empunya hak.
Maka Allah menyeru kepada kesederhanaan ataupun al-qawwam iaitu al-wasat ataupun wasatiyyah sebagaimana ayat yang saya bacakan sekejap tadi. Ia digambarkan oleh para ulama tafsir sebagai salah satu petanda jelas kebijaksanaan pemerintah bagi memastikan rakyat dan negara terus maju mendepani segala cabaran kehidupan.
Justeru, segala akta yang digubal berkaitan kewangan dan fiskal ke arah memastikan kesederhanaan dalam perolehan dan pengurusan hasil, perbelanjaan awam, hutang dan pinjaman amat-amatlah kita alukan.
Tuan Yang di-Pertua, oleh sebab sesebuah negara itu berlangsung dalam umur generasi demi generasi yang diwarisi dan kemudiannya mewariskannya pula kepada generasi akan datang maka adalah amat penting bahawa prinsip pengurusan fiskal mestilah mengambil kira kelestarian, kesejahteraan ekonomi kepada generasi yang akan datang. Soalan saya, adakah kerajaan turut memasukkan prinsip ini melalui akta ini di mana pengurusan kewangan dan fiskal negara hari ini adalah juga menjadi harapan dan sinar kesejahteraan kepada generasi kita akan datang.
Tuan Yang di-Pertua, antara aspek penting yang perlu diberi perhatian iaitu unsur keberkatan dalam menjana pendapatan dan juga perbelanjaan. Keberkatan atau dalam bahasa lebih mudah bermaksud memperoleh hasil dan membelanjakannya secara halal dan diredai oleh Allah Taala. Saya berharap Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal ini dapat membantu ke arah ekonomi negara yang diberkati dan diredai oleh Allah SWT.
Soalan saya, oleh sebab pendapatan negara banyak bergantung kepada cukai- cukai yang dikenakan ke atas rakyat dan sudah pasti sebahagiannya menjadi pertikaian dan membebankan rakyat. Adakah kerajaan hari ini berhasrat untuk melihat kembali kepada segala jenis dan bentuk cukai lama dan baru dan dipadankan pula dengan kehendak hukum syariah agar ia nya benar-benar menjadi pendapatan negara yang halal dan diberkati oleh Allah Taala. Baldatun toyyibatun warobbun ghofur- negara yang sejahtera dan mendapat keampunan Allah SWT.
Antara perkara yang bagi saya amat tidak menarik dalam perbelanjaan fiskal negara merupakan nisbah Perbelanjaan Mengurus sudah pun mencecah hampir 97 peratus daripada nilai hasil sebenar. Ia menggambarkan realiti fiskal negara yang tidak sihat. Soalan saya, apakah kerajaan melihat kemampuan akta ini untuk membaiki dan memulihkan kesihatan dan kesejahteraan kewangan negara ini?
Saya juga ingin menekankan aspek prioriti ataupun keutamaan dalam perbelanjaan supaya yang dahulu mesti didahulukan. Soalan saya, apakah mekanisme bagi memastikan segala program dan projek yang dilaksanakan oleh kerajaan mempunyai impak yang tinggi dan kesan yang baik kepada ekonomi negara khususnya sebagai alat untuk menstabilkan ekonomi? Saya turut menyokong cadangan oleh rakan-rakan oleh Dewan yang mulia ini yang telah berucap sebelum ini agar Dewan Negara kita ini turut dilibatkan di dalam Jawatankuasa Dasar Fiskal yang dipengerusikan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri.
Akhir sekali Tuan Yang di-Pertua, saya tanpa prejudis ingin bertanya tidakkah jawatan Menteri Kewangan yang dipegang oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri ini dilihat agak contradict dengan semangat akta ini? Mohon jawapan yang tuntas. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Tuan Yang di-Pertua
Terima kasih Yang Berhormat.
Sekarang saya menjemput Yang Berhormat Datuk Wira Dr. Mohd Hatta bin Md Ramli. Silakan Yang Berhormat.
Datuk Wira Dr. Mohd Hatta bin Md Ramli
Terima kasih Tan Sri Yang di-Pertua.
Assalamualaikum warahmatullah. Saya ucap terima kasih atas peluang untuk membahaskan Rang Undang-undang Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal yang dibentangkan di depan kita sebagai suatu lagi pengenalan kaedah atau pengawalan, oversight. Kita cuba mengurangkan kesan-kesan, kesilapan-kesilapan ataupun salah jangka yang dibuat oleh kerajaan pada bila-bila masa melalui proses yang tersusun, yang diwujudkan oleh rang undang-undang ini jika diluluskan.
Saya rasa ini suatu langkah yang baik dan bertepatan dengan tuntutan antarabangsa dalam kita menguruskan kewangan negara kita. Dalam proses itu kita akan dapat mengenal pasti di peringkat mula berlaku kecurangan atau kesilapan dalam rancangan ataupun dalam pelaksanaan perbelanjaan-perbelanjaan yang diputuskan melalui belanjawan-belanjawan atau bajet yang dibentangkan. Ini suatu perkara yang perlu dilakukan supaya kita tidak sentiasa menanggung kerugian ataupun defisit ataupun hutang yang meningkat terlalu banyak selepas tempohnya.
Bagi sebuah kerajaan selepasnya untuk cuba memperbetulkannya ia mungkin suatu perkara yang sudah terlambat ataupun tidak ada suatu kebertanggungjawaban bagi orang seterusnya untuk membetulkan suasana. Jadi langkah ini saya puji kerana ia nya akan dapat menggerakkan suatu mekanisme melalui jawatankuasa ini yang dibentuk di bawah undang-undang ini nanti yang akan menilai dan akan memberikan maklumat ini, membentangkannya di Dewan yang mulia ini. Dibentangkan di Parlimen katanya, pastinya di Dewan Negara juga akan dibentangkan.
Ada pula laporan separuh tahunnya. Ini saya rasa merupakan langkah untuk kita mengenal kalau ada red flag yang perlu ditangani segera dan tidak menunggu bajet yang akan datang. Jadi langkah ini saya rasa mesti kita memperkemaskan. Cumanya dibangkitkan tadi, saya setelah mencelah tadi tentang komposisi kepada jawatankuasa yang akan memantau prestasi fiskal negara kita ini dengan mencadangkan supaya Dewan yang mulia ini, Dewan Negara, Dewan tertinggi- The Upper House, dengan izin, diberikan suatu peranan. Bagaimanakah? Itu kita boleh bincang, tetapi sebagai jawatankuasa yang bertanggungjawab dengan kedudukan kita yang bebas untuk memberikan pandangan, saya rasa cadangan yang dibangkitkan oleh rakan-rakan kita tadi harus juga diberikan pertimbangan
Datuk Wira Dr. Mohd Hatta bin Md Ramli
Tan Sri Yang di-Pertua, kita melihat antara perkara yang disebut di dalam Jadual 1 tadi ini ialah bab hutang. Bab perbelanjaan minimum untuk pembangunan tidak kurang daripada tiga peratus, saya rasa negara kita sentiasa mencapai tahap tersebut, tetapi hutang berbanding dengan KDNK sudah melebihi 60 peratus seperti yang ditetapkan dan 60 peratus ini bukan angka yang dipetik dari langit ker ataupun apa ya, tetapi memang suatu paras yang diterima secara konvensionalnya di peringkat antarabangsa. Ini pun kita tidak dapat kawal melepasi hutang kita 63 peratus, 65 peratus daripada KDNK. Ini merupakan suatu pelanggaran dan orang yang bertanggungjawab ataupun kerajaan yang bertanggungjawab tidak boleh membenarkan ini berterusan berlaku.
Jadi, kalau kita mempunyai jawatankuasa yang memantau ini, melalui undang- undang ini, maka kita akan dapat mengesan mana-mana proses berhutang, memohon hutang, mohon loan luar negara yang reckless, dengan izin. Sehingga kadang-kadang ada disebut hutang berhutang untuk membayar hutang. Jadi, ini bukan suatu tanggungjawab yang baik bagi sesebuah kerajaan yang berwibawa termasuk di Malaysia.
Jadi, saya rasa paras ini harus ditepati, sentiasa dipatuhi supaya ia tidak akan membebankan generasi yang ada mahupun generasi yang akan datang. Kalau terpaksa menanggung hutang-hutang yang makin bertambah. Kalau hutang bertambah ertinya pendapatan kita tidak dapat digunakan untuk proses atau digunakan untuk membiayai pembangunan yang masih diperlukan bagi sebuah negara yang belum mencapai taraf negara maju seperti Malaysia ini. Kita ke arah itu, tetapi kalau kita terpaksa mengorbankan pembangunan kerana kedudukan fiskal kita yang tidak mantap, maka kita tidak akan sampai bila-bila pun taraf negara maju tersebut.
Jadi, perkara ini mesti diteliti dan mengesan risiko-risiko fiskal itu sudah menjadi satu tanggungjawab wajib bagi kerajaan dan bukan hanya mengesan, tetapi memastikan ia dapat dielakkan. Sama ada yang disebut dalam akta rang undang-undang ini risiko mikroekonominya, tahap jaminan kewangannya. Ini benda-benda yang ada datanya, yang boleh diambil tindakan segera.
Sebab itulah, kita mahukan suatu langkah atau mekanisme yang betul-betul berkesan, yang tidak mempunyai kepentingan-kepentingan selain daripada kepentingan negara untuk memastikan semua proses mengenal pasti risiko ini dapat digerakkan. Kita cuba elak sebaik mungkin masalah-masalah, pendedahan-pendedahan kepada bebanan- bebanan ataupun liabiliti yang tidak sewajarnya bagi sebuah negara seperti Malaysia ini.
Maka, sebab itu saya rasa sebagai penutupnya kita di Dewan ini harus mengambil pertimbangan untuk memberikan sokongan kepada rang undang-undang ini supaya dapat dilaksanakan dengan kadar yang segera. Tan Sri Yang di-Pertua, saya mohon menyokong. Terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua
Terima kasih Yang Berhormat. Yang Berhormat Senator Tuan Amir bin Ghazali. Dipersilakan.
Tuan Amir bin Ghazali
*Bismillahi Rahmani Rahim...
[Berselawat] [Membaca sepotong ayat al-Quran]* Yang dihormati, yang dikasihi Tan Sri Yang di-Pertua, teman-teman Ahli Dewan Negara yang saya banggakan. Sekalung penghargaan pada Kerajaan Perpaduan kerana mengukir sejarah negara dan bangsa, berani membuka satu lembaran baharu membentangkan Rang Undang-undang Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal di Dewan yang mulia ini. Akta FRA ini menekankan kebertanggungjawaban dan kesediaan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri menyerah kuasa kepada Parlimen, kuasa Menteri Kewangan kepada Parlimen ini agar memastikan tahap ketelusan lebih tinggi dan pengurusan ekonomi lebih bertanggungjawab. Ini merupakan pembaharuan dan pembaikan yang dinanti-nantikan oleh rakyat.
Dalam hal berkaitan mengambil langkah yang populis bukanlah satu pilihan.
Namun, demi rakyat negara langkah konsolidasi ini secara berperingkat bagi membina semula ruang fiskal di samping mengurangkan paras hutang dan liabiliti kerajaan harus disokong oleh segenap lapisan masyarakat. Saya yakin dan percaya kemampuan Kerajaan Perpaduan dapat memacak keyakinan bahawa penggubalan dasar hasil adalah berasaskan prinsip kecekapan, keadilan dan kesaksamaan serta prinsip pengurusan fiskal yang bertanggungjawab. Pengurusan perbelanjaan awam perlu dirangka dan dilaksanakan secara berkesan dan cekap dengan mengutamakan disiplin fiskal, ketelusan dan keberkesanan ke arah mencapai maksud keseluruhan objektif sosioekonomi yang manusiawi.
Dengan penuh harapan agar yang dapat martabatkan agenda pembaharuan fiskal. Tan Sri Yang di-Pertua, mengetepikan tata kelola ketelusan dan kebertanggungjawaban dalam pentadbiran kerajaan kebimbangan akan terjadi seperti di negara yang lain. Nasib yang menakutkan dan kita menanggung risiko yang buruk. Beban negara di belahan dunia yang berdepan dengan masalah ekonomi sudah pun meminta bantuan kewangan dari Tabung Kewangan Antarabangsa. Contohnya, seperti negara Lebanon. Sudah mengalami kebankrapan. Sri Lanka secara rasmi pun bankrap. Tunisia, selepas COVID-19 mengalami krisis kewangan terburuk apatah lagi dengan terkait dengan situasi perang Ukraine dan Rusia.
Ghana memiliki rasio hutang yang lebih tinggi diburukkan lagi dengan nilai mata wang yang rendah. Mesir juga sedang berhempas pulas untuk membayar hutang dengan bentuk hard currency sehingga memerlukan pinjaman asing.
Negara Greece, Kenya, Ethiopia, El Salvador, Pakistan, Belarus dan negeri- negeri yang lain semakin hilang kebijakan akibat tekanan ekonomi dan sudah tentu terkait dengan faktor kegagalan tadbir urus dan kepincangan menguruskan ekonomi. Ini risiko yang perlu ditanggung sekiranya kita mengetepikan tadbir urus yang baik.
Dalam negara kita juga, apa kurangnya pada era persyarikatan Malaysia yang merangkumi komitmen kewangan, kerjasama awam, swasta dan entiti kerajaan. Dari Renong ke Perwaja, Malaysia Airlines dan menginjak ke Petronas Dagangan, bail out dan akhirnya natijahnya rakyat dan negaralah yang akan menanggung akibat kerugian Ringgit dan sen yang berulang-ulang daripada Perdana Menteri kepada Perdana Menteri yang lain hanya pada beza slogan retorik. Namun, sikap dan perbuatan terus menerus mengulangi seperti mana 1MDB, LCS, Jana Wibawa dan lain-lain tanpa rasa bersalah.
Negara berbilion-bilion Ringgit rugi.
Tan Sri Yang di-Pertua, minggu ini juga berlaku juga Ketua Audit Negara melaporkan lebih RM981.71 juta- dana awam hilang akibat kegagalan enam program di bawah kementerian dalam tahun 2022. Tan Sri Yang di-Pertua, soalan saya di sini ingin penjelasan, apakah bentuk tindakan dan hukuman jika terdapat penyelewengan wang dan harta awam?
Yang kedua, mengapakah hanya Menteri Kewangan sahaja terpakai dengan akta ini? Tidak diperluaskan kepada kebertanggungjawaban Menteri-menteri lain dalam hasil perolehan ini. Jadi, saya mohon menyokong rang undang-undang ini. Sekian, terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua
Terima kasih Yang Berhormat.
Saya jemput Yang Berhormat Senator Tuan Manolan bin Mohamad.
Tuan Manolan bin Mohamad
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua kerana memberi ruang kepada saya untuk mengambil bahagian dalam perbahasan Rang Undang-undang Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023.
Pertama sekali, saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada kerajaan kerana telah membentangkan Rang Undang-undang Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 ini yang sangat bermakna untuk kerajaan di mana kalau kita tengok rang undang-undang ini pun dia ada sebut awam. Maksudnya, di situ duit negara ini merupakan duit rakyat dan duit awam. Maka itu, akta ini memang sangat baik dan sangat bagus untuk menjamin ataupun untuk menggunakan wang awam ini dengan sebaik mungkin untuk pembangunan negara, untuk kepentingan rakyat.
Tuan Manolan bin Mohamad
Dasar fiskal ini sebenarnya adalah dasar cukai yang dikutip oleh kerajaan dan dibelanjakan untuk pembangunan negara supaya ekonomi negara kita ini stabil dan hasil- hasil kerajaan ini banyak dikutip daripada cukai, lesen-lesen yang dikenakan oleh kerajaan. Maka itu, saya memang sangat menyokong langkah kerajaan ini di mana Menteri Kewangan telah meletakkan satu kedudukan yang terbaik di dalam keadaan ini apabila Menteri Kewangan mungkin yang akan datang nanti dan seterusnya Menteri Kewangan itu harus bertanggungjawab dengan jawatan dan juga kedudukan yang dipegang untuk menguruskan ekonomi dan juga kewangan negara ini.
Tan Sri Yang di-Pertua, seterusnya saya ingin bertanya kepada Menteri berkenaan dengan tanggungjawab Menteri berhubung dengan perbelanjaan awam ini di mana kalau kita tengok di sini, Menteri Kewangan harus menyediakan satu laporan prestasi kewangan di mana projek-projek yang telah dilaksanakan oleh kerajaan, tetapi ia tidak mencukupi dan kerajaan terpaksa melakukan suntikan modal terhadap projek tersebut, maka itu saya ingin bertanya, apa justifikasi kerajaan khususnya Menteri Kewangan sekiranya projek tersebut tidak dapat disiapkan mengikut tempoh ataupun mengikut perbelanjaan bajet yang dah disediakan daripada peringkat awal.
Seterusnya saya ingin menyentuh berkenaan Ahli Jawatankuasa yang dibentuk.
Ramai rakan Senator menyarankan supaya Ahli Dewan Negara ini dilibatkan dalam jawatankuasa tersebut dan saya sangat-sangat bersetuju dan cadangan awal daripada Yang Berhormat Senator Dr. Hatta dan saya sangat-sangat bersetuju.
Di dalam pada itu juga, saya ingin mencadangkan kepada kerajaan supaya Timbalan Menteri Kewangan pun dimasukkan di dalam. Oleh sebab mereka yang banyak menjawab soalan-soalan di Dewan Negara ini iaitu Timbalan Menteri Ekonomi sebab Menteri Ekonomi ada dalam jawatankuasa tersebut iaitu Menteri Kewangan Perdana Menteri, tetapi tidak ada Timbalan Menteri, supaya cadangan ini- saya mencadangkan supaya dimasukkan Timbalan Menteri Kewangan dan Timbalan Menteri Ekonomi ini supaya mereka boleh melihat projek-projek kerajaan ini betul-betul berjalan dan laporan prestasi projek tersebut mesti dibentangkan di Parlimen dan kita bersetuju dan juga di dalam Jemaah Menteri, tetapi di sini dia tak sebut di Parlimen Tan Sri Yang di-Pertua, di Jemaah Menteri sahaja.
Jadi, soalan saya kepada Menteri Kewangan, adakah akan dibentangkan juga laporan pertengahan tahun tersebut di Parlimen dan termasuk Dewan Negara bukan di Dewan Rakyat sahaja. Jadi, itu yang kedua.
Ketiga adalah berkenaan dengan prestasi kewangan yang akan diberi di dalam suatu projek tersebut. Adakah projek tersebut memberi betul-betul manfaat kepada rakyat khususnya dan juga untuk pembangunan ekonomi negara? Oleh sebab kita tidak mahu wang yang dibelanjakan itu kadang-kadang ia bukan boleh memberi satu nilai tambah ataupun boleh memberi hasil kepada negara, tetapi wang itu mengalir begitu sahaja menjadi “gajah putih” dan akhirnya yang menanggung ialah kita. Sepertimana yang kita sedia maklum, kita mempunyai hutang yang banyak sekarang ini RM1.5 trilion.
Maka itu, saya memang sangat menyokong dasar kerajaan di mana kerajaan cuba untuk mengurangkan hutang negara ini berperingkat-peringkat pada setiap tahun.
Dengan itu Tan Sri Yang di-Pertua, saya menyokong Rang Undang-undang Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023. Sekian, terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua
Terima kasih Yang Berhormat.
Saya jemput Datuk Teo Eng Tee @ Teo Kok Chee.
Datuk Teo Eng Tee @ Teo Kok Chee
Salam sejahtera. Tan Sri Yang di-Pertua, terlebih dahulu saya ingin mengambil peluang untuk mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Tuan Yang di-Pertua kerana memberi saya peluang untuk menyertai perbahasan Rang Undang-undang Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 di Dewan yang mulia ini.
Saya mengucapkan tahniah dan syabas kepada kerajaan selepas membentangkan Belanjawan 2024 yang pada keseluruhannya nampak bertanggungjawab dalam menangani kewangan kerajaan dengan kekangan yang sedia ada.
Tan Sri Yang di-Pertua, nilai mata wang Ringgit Malaysia telah menyusut dengan teruk sejak kebelakangan ini, mata wang Ringgit Malaysia dengan Dolar- Singapore masih melakar di paras terendah dalam sejarah Malaysia iaitu RM3.46 hingga RM3.47 setiap Dolar- Singapore. Manakala Ringgit Malaysia dengan Dolar Amerika pula telah hampir memecah tahap RM5 setiap satu Dolar Amerika.
Masalah ini telah memberi kesan yang parah kepada rakyat di negara. Harga barangan naik berkali ganda akibat barang import menjadi mahal. Siapakah yang menjadi mangsa dalam isu ini? Tentulah rakyat jelata menjadi mangsa. Rakyat terpaksa menanggung semua kenaikan kos ini. Impak ini bukan sahaja ditanggung oleh kita di Malaysia, ia juga memberi beban kepada pelajar Malaysia yang belajar di luar negara.
Saya masih ingat Yang Berhormat Nga Kor Ming pada bulan Oktober 2022, pernah menegur Kerajaan Barisan Nasional gagal mentadbir negara sehingga nilai mata wang ringgit jatuh. Pada masa itu beliau berkata, sekiranya Malaysia terus ditadbir oleh Barisan Nasional, Ringgit Malaysia dengan Dolar Amerika akan jatuh sehingga taraf RM5 satu Dolar Amerika. Kini parti beliau yang menjadi kerajaan, apakah terjadi kepada Ringgit Malaysia? Makin teruk.
Kesusutan nilai mata wang Ringgit Malaysia memberi kesan atau impak yang sangat teruk khususnya pada bandar Johor Baharu akibat daripada pertukaran mata wang yang jatuh, jauh beza. Maka rakyat Johor Baharu tak mampu bersaing dengan rakyat Singapore yang mempunyai daya pembelian tinggi. Barang-barang di Johor Baharu menjadi sangat mahal. Yang menjadi mangsa ialah rakyat tempatan. Tambahan pula, penduduk di Johor Baharu kebanyakan tertarik dengan mata wang Dolar Singapore yang tinggi, semua berebut pergi Singapore bekerja. Jadi, semua kilang dan perniagaan tidak dapat mencari pekerja tempatan.
Cuba bayangkan gaji seorang tukang cuci mangkuk yang bekerja di Singapore boleh hampir RM9,000 sebulan. Gaji tukang cuci pinggan lebih tinggi daripada seorang pengurus syarikat di Malaysia. Jadi tauke restoran di Johor Baharu sendiri cuci pinggan mangkuk.
Datuk Teo Eng Tee @ Teo Kok Chee
Saya dengan besar harapan agar Kerajaan Pakatan Harapan ini dapat rajin membuat sesuatu untuk memulihkan nilai mata wang Ringgit Malaysia. Jangan tiap-tiap hari mencari salah orang dan membalas dendam. Di sini saya ingin bertanya kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri selaku Menteri Kewangan juga. Apakah cara menyelesaikan untuk membolehkan kekuatan Ringgit Malaysia selepas membentangkan Belanjawan 2024? Akhir kata, saya setuju dan sokong sepenuhnya rang undang-undang akta tersebut. Terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua
Terima kasih Yang Berhormat.
Sekarang saya menjemput Yang Berhormat Senator Dato’ Dr. Nelson a/l Renganathan.
Dato’ Dr. Nelson a/l Renganathan
Terima kasih Tan Sri Yang di-Pertua.
Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan syabas kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dan Kementerian Kewangan Malaysia kerana dapat membentangkan RUU Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023. Satu akta yang kena tepat pada masanya. Rakan-rakan Senator telah pun membangkitkan beberapa isu yang relevan yang berkaitan dengan RUU ini.
Jadi, saya tidak akan ulang semula, tetapi saya pula ingin bertanya kepada Yang Berhormat Timbalan Menteri. Mungkin atas kejahilan- ignorance, dengan izin, mengenai isu ESG iaitu Environment Social dan Governance atau Alam Sekitar Sosial dan Tadbir Urus.
RUU ini memang mantap daripada segi governance iaitu tadbir urus, tetapi di mana terteranya isu alam sekitar dan sosial iaitu environmental dan social issue, dengan izin, dalam RUU ini? ESG merupakan satu- alat yang digunakan oleh syarikat pelaburan antarabangsa dan juga negara-negara maju dalam memastikan pematuhan ESG sebelum meluluskan pelaburan atau pinjaman ke negara ini.
Maka, saya ingin mendapatkan penjelasan Yang Berhormat Timbalan Menteri.
Adakah intipati RUU ini dapat dipisah kepada E, S dan G untuk tujuan yang saya sebut tadi. Maksud saya, mungkin satu supplementary report, dengan izin, boleh diterbitkan mengikut E, S dan G tadi supaya pelabur dapat menghayati kejayaan kerajaan dalam hal ini. Harapan saya bahawa RUU ini dapat memenuhi syarat ESG. Sekian, terima kasih.
Saya mohon menyokong.
Tuan Yang di-Pertua
Terima kasih Yang Berhormat. Telah 20 orang Ahli Yang Berhormat berbahas.
Sekarang saya jemput Menteri Kewangan untuk menjawab.
Timbalan Menteri Kewangan - Tuan Sim Chee Keong
Terima kasih Datuk Yang di-Pertua. Walaupun saya sebenarnya difahamkan ada 26 orang pembahas. Jadi, agak terperanjat dipanggil awal, tetapi tidak apa. Saya cuba.
Tuan Yang di-Pertua
Saya jadi scout dulu Yang Berhormat, expect the unexpected.
Tuan Sim Chee Keong
Ya. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Jadi, saya ucapkan terima kasih kepada semua Ahli-ahli Dewan Negara yang telah mengambil bahagian dan memberikan pelbagai input terhadap rang undang-undang ini dan kesemua Ahli Dewan Negara ini telah bersetuju secara prinsipnya terhadap RUU ini. Jadi, saya ucapkan penghargaan yang setinggi-tingginya daripada Kementerian Kewangan.
Untuk makluman Dewan yang mulia ini, saya secara amnya dahulu terangkan, apakah inti pati RUU ini. Satu, ialah RUU ini adalah berkenaan dengan sasaran mikroekonomi yang telah kita gariskan, terutamanya dalam Jadual Pertama rang undang- undang. Jadi, saya tahu ada yang tanya tentang pengagihan dana dan peruntukan kepada negeri. Ini mungkin tidak terpakai dalam RUU yang kita bentangkan pada hari ini.
Keduanya, RUU ini adalah tentang dasar kebertanggungjawaban. Secara amnya, RUU ini bertujuan untuk- kalau saya guna bahasa orang kampung Tuan Yang di-Pertua, dia ikat kaki dan tangan kerajaan, terutamanya Menteri Kewangan. Jadi, mulai sekarang, selepas kita luluskan RUU ini, Menteri Kewangan tidak boleh lagi menetapkan sasaran di belakang pintu tertutup Pejabat Perbendaharaan. No longer, dengan izin Tan Sri Yang di- Pertua. No longer fiscal targets are set behind the closed doors of the Treasury, tetapi Menteri Kewangan perlu, tidak kira kerajaan mana pun, dia perlu membawa sasaran ini ke Parlimen untuk dibahaskan dan kemudian diluluskan.
Saya faham kekhuatiran beberapa Ahli-ahli Dewan Negara yang menyebut tentang Jawatankuasa Fiskal Negara, di mana keahliannya, ada yang telah mencadangkan agar dimasukkan juga Ahli-ahli Dewan Negara ini.
Untuk makluman, daripada segi pengasingan kuasa antara badan eksekutif dan badan perundangan, kita perlu observe atau kita perlu ikut. Justeru, mungkin tidak berapa sesuai untuk memasukkan Ahli Dewan ke dalam Jawatankuasa Dasar Fiskal Negara.
Namun, ini tidak bermakna Dewan Negara dan Parlimen secara amnya tidak dapat memainkan peranan. Saya hendak bagi contoh, dalam kita meluluskan RUU ini pada hari ini, sememangnya angka-angka fiskal ataupun sasaran fiskal yang telah ditetapkan ataupun dicadangkan oleh kerajaan, kini sedang dibincangkan oleh Ahli-ahli dalam Dewan ini. Dan kalian lah yang akan meluluskan sama ada angka-angka yang diberikan itu tepat dan sesuai untuk pembangunan negara. Jadi, ada ruang di mana penglibatan Ahli-ahli Dewan, Parlimen dan juga khususnya Dewan Negara.
Saya juga nampak bahawa ada Ahli yang telah membangkitkan bahawa tidak ada- kalau ada penyimpangan, tidak ada pembentangan laporan di Dewan Negara.
Sebenarnya, kalau kita ikut peruntukan dalam Perlembagaan, contohnya Perkara 99(1) tentang penyata kewangan tahunan negara. Sebenarnya hanya perlu dibentangkan dalam Dewan Rakyat. Walau bagaimanapun, laporan-laporan yang lain iaitu laporan tahunan, termasuk laporan-laporan baharu, laporan risiko fiskal, laporan prestasi perbelanjaan dan laporan perbelanjaan cukai. Semua ini juga akan dibentangkan ataupun diberikan kepada Ahli-ahli Dewan Negara.
Untuk makluman Ahli-ahli Yang Berhormat, usul boleh dibuat di Dewan Negara.
Jika memerlukan ataupun ada keadaan yang memerlukan kerajaan membentangkan apa- apa perkara dalam Dewan yang mulia ini.
Satu lagi perkara am ialah tentang keprihatinan Ahli-ahli Dewan tentang bagaimana objektif ini boleh dicapai dan juga bagaimana objektif ini diperakui ataupun ditetapkan in the first place.
Untuk makluman, objektif-objektif fiskal yang telah ditetapkan dalam Jadual Satu ini, ditetapkan melalui rujukan kepada beberapa dokumen negara, termasuklah dokumen Rancangan Malaysia, dokumen bajet, Belanjawan Madani dan dokumen Kerangka Ekonomi Madani, tetapi saya hendak bagi keyakinan kepada Ahli Dewan yang mulia ini bahawa target ataupun sasaran yang telah ditetapkan ini adalah bukan sahaja mampu untuk memberikan kestabilan mikroekonomi, seterusnya menjana pembangunan negara, tetapi ia juga mampu dicapai melalui usaha sama dari semua pihak. Saya bagi contoh.
Pertama, perbelanjaan pembangunan, ia sebenarnya bukan maksimum. This is the minimum, ia perlu sekurang-kurangnya tiga peratus ataupun lebih.
Tuan Sim Chee Keong
Untuk makluman Dewan yang mulia ini, kalau kita melihat kepada sejarah dari tahun 2015 sehingga 2023, purata kadar perbelanjaan pembangunan kepada KDNK adalah sebenarnya 3.8 peratus. Target yang kita set, tiga peratus. Jadi, purata beberapa tahun- 2015 hingga 2023 iaitu 3.8 peratus. Malah, dalam Belanjawan 2023, kadar perbelanjaan pembangunan kepada KDNK iaitu 5.2 peratus. Jadi, kita yakin melalui usaha kerajaan dan juga usaha dengan pihak pembangkang, maka kita mampu untuk mencapai sasaran tersebut.
Keduanya, tentang baki fiskal. Baki fiskal yang kita sasarkan adalah negatif tiga peratus. Mesti sama ada bersamaan dengan negatif tiga peratus ataupun lebih rendah daripada negatif tiga peratus. Maksudnya, defisit kena tiga peratus ataupun lebih rendah.
Untuk makluman, kita tengok data-data sejarah mulai 2015 hingga 2023, purata baki fiskal kita adalah negatif 4.4 peratus. Walaupun agak tinggi, mungkin sebab tahun- tahun COVID-19, perbelanjaan pandemik dan sebagainya, tetapi kita pernah mencapai baki fiskal negatif 3.1 peratus, negatif 3.2 peratus, malah negatif 2.9 peratus dari tahun 2015 sehingga sekarang. Jadi, kita mampu untuk mencapai dengan usaha sama semua pihak.
Yang ketiganya, paras hutang keseluruhan perlu bersamaan dengan 60 peratus KDNK ataupun kurang. Sekali lagi, kalau kita lihat kepada data sejarah 2015 sehingga 2022, purata kadar hutang kita kepada KDNK iaitu 5.6 peratus. Again, dengan izin, Tan Sri Yang di-Pertua, kita mampu untuk mencapai sasaran tersebut, tetapi dengan kerja keras dan usaha sama semua pihak.
Jaminan kewangan, keempatnya. Jaminan kewangan, sasaran kita iaitu 25 peratus dan ke bawah, kadar kepada KDNK. Data sejarah 2015 sehingga 2022, puratanya ialah 17.8 peratus. Kita set 25 peratus, tetapi purata yang kita pernah lalui dalam sejarah tujuh tahun ke belakang ini 17.8 peratus.
Ada yang tanya tentang jaminan kewangan...
Puan Rita Sarimah anak Patrick Insol
Boleh saya mencelah?
Tuan Sim Chee Keong
Sekejap. Saya habiskan ini dulu.
Puan Rita Sarimah anak Patrick Insol
Tak apa.
Tuan Sim Chee Keong
Ada yang tanya tentang jaminan kewangan, adakah ia akan dikenakan ke atas semua badan berkanun, GLC Kerajaan Persekutuan.
Jawapannya, ya. Kerangka ataupun had jaminan kewangan ini akan terkena kepada Kerajaan Persekutuan dan semua entiti Kerajaan Persekutuan, termasuk syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan juga badan-badan berkanun Kerajaan Persekutuan.
Silakan, kalau dibenarkan oleh Tan Sri Speaker.
Puan Rita Sarimah anak Patrick Insol
Mohon izin, Tuan Yang di-Pertua.
Tuan Yang di-Pertua
Silakan, Yang Berhormat.
Puan Rita Sarimah anak Patrick Insol
Terima kasih. Tadi Yang Berhormat Timbalan Menteri menyentuh tentang jaminan nilai kuantiti ataupun had yang ditetapkan ke atas jaminan kewangan sebagai peratusan kepada KDNK iaitu tidak melebihi 25 peratus. Basis untuk menetapkan ini adalah berdasarkan past performance di mana average adalah tidak melebihi 17 peratus. Are you telling me that ini merupakan satu had yang senang untuk dicapai, ataupun macam mana?
Tuan Sim Chee Keong
Terima kasih, Senator Rita, dan juga terima kasih, Tuan Yang di-Pertua. Saya telah katakan tadi, sebenarnya saya bagi data-data sejarah ini untuk menunjukkan bahawa, dengan izin, it is within our ability to achieve this target, tetapi dengan syarat.
Saya tekankan tadi, dengan syarat, kita perlu berusaha. It is not something that- bukan perkara yang kita boleh pandang ringan dan pandang enteng. Hanya kerana dalam data-data tahun-tahun sebelum ini kita dah capai, tak bermaksud kita mampu untuk capai kalau kita leka dalam tugasan kita. Jadi, dia bukan sebagai satu alasan tetapi sebagai satu keyakinan kepada Dewan ini bahawa kita mampu untuk mencapainya dengan usaha sama semua pihak.
Puan Rita Sarimah anak Patrick Insol
Mohon mencelah, Tan Sri. Mungkin saya kurang jelas. What I am saying is that kita telah berjaya untuk mengehadkan our exposure, ya, tadi purata sebanyak 17 peratus. Maknanya, kalau kita hendak memperbaiki keadaan, sewajarnya had nilai yang diletakkan hendaklah lebih kecil daripada 17 peratus.
That is what I meant, sebenarnya. Mengapakah kita letakkan satu angka yang lebih daripada apa yang pernah kita experience performance kita selama ini? Terima kasih.
Tuan Sim Chee Keong
Terima kasih. Saya faham maksud isu yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Puan Rita. Sebenarnya kita memberikan ruang untuk pengembangan fiskal. Projek-projek besar yang kita lakukan, contohnya projek LRT, projek pengembangan ataupun pembesaran lapangan terbang dan sebagainya. Jadi, kita perlu memberikan sedikit ruang kepada kerajaan untuk ada ruang fiskal untuk melaksanakan projek-projek pembangunan rakyat terutamanya yang berskala besar.
Tadi saya jawab secara am tetapi sekarang saya nak masuk kepada, mungkin jawab soalan-soalan khusus daripada Ahli-ahli Dewan Negara ini. Ada yang telah saya jawab, saya akan skip-lah, tetapi saya akan cuba untuk melihat kepada semua isu yang telah dibangkitkan.
Tadi Yang Berhormat Datuk Seri Dr. Mujahid ada sebut tentang jaminan kerajaan, berapakah nilainya pada hari ini dari segi peratus KDNK yang ditanggung melalui jaminan kerajaan.
Sehingga akhir Jun 2023, jumlah jaminan kerajaan terkumpul telah mencapai 17.2 peratus daripada KDNK iaitu sebanyak RM317.98 bilion. Daripada jumlah tersebut, RM221.4 bilion ataupun lebih 65 peratus daripada jumlah jaminan iaitu komitmen jaminan.
Komitmen jaminan didefinisikan sebagai bantuan kewangan yang diberikan oleh kerajaan kepada entiti penerima untuk pelbagai tujuan, termasuk suntikan aliran tunai sementara, bantuan modal kerja, bayaran faedah dan juga bantuan operasi lain bagi menyokong projek yang sedang berjalan.
Datuk Wira Dr. Mohd Hatta bin Md Ramli
Tan Sri Yang di-Pertua, saya nak minta penjelasan sedikit daripada Timbalan Menteri atas data yang telah disebut awal tadi.
Tuan Sim Chee Keong
Belum saya bagi, tetapi tak apa, sebab kawan, kita bagi.
Tertakluk kepada budi bicara Tan Sri.
Datuk Wira Dr. Mohd Hatta bin Md Ramli
Boleh, Tan Sri? Tanya sikit. Saya dalam ucapan tadi, saya kata antara benda yang tidak dicapai adalah debt to GDP. Kita tetapkan 60 peratus, tetapi tadi Menteri kata, kita bawah daripada 60 peratus. Sedangkan, kalau tak silap, yang terdekat ini, 63 peratus kita punya hutang berbanding GDP, KDNK.
Jadi, yang manakah yang betul?
Tuan Sim Chee Keong
Tadi saya bagi angka purata antara 2015 hingga 2022.
Jadi, angka puratanya, 5.6 peratus.
Datuk Wira Dr. Mohd Hatta bin Md Ramli
Purata?
Tuan Sim Chee Keong
Purata. Purata tujuh tahun. Jadi, ada peningkatan terutamanya tahun-tahun pandemik. Contohnya, tahun 2021, 63.3 peratus. Jadi, kita terpaksa naikkan had statutori, okey.
Minta izin Tan Sri Yang di-Pertua. Kalau Ahli Yang Berhormat ini tidak ada dalam Dewan, mungkin saya bagi secara bertulis? Supaya kita kurangkan masanya. Ataupun nak saya jawab juga? Boleh saya...
Tuan Yang di-Pertua
Yang Berhormat, sebenarnya soalan itu termasuk dalam Hansard. Melainkan yang bertulis itu, dia masuk Hansard untuk jawapan, baru berbaloi.
Kalau tidak, soalan tidak terjawab. Jadi, saya lebih minat soalan-soalan semua dijawab.
Tuan Sim Chee Keong
Saya...
Tuan Yang di-Pertua
Melainkan, Yang Berhormat memikirkan ia terlalu banyak dijawab, boleh pilih yang very critical dan yang penting. Yang lain itu bolehlah secara bertulis.
Tuan Sim Chee Keong
Boleh. Saya ikut perintah Yang di-Pertua dan juga saya cuba untuk tapiskan yang mana lebih kritikal.
Tuan Yang di-Pertua
Sebab, saya mendengar hujah-hujah tadi, banyak soalan yang saya anggap sangat relevan. Terima kasih.
Tuan Sim Chee Keong
Sebenarnya, secara amnya, saya jawab pada permulaan, ia telah merangkumi banyak isu yang telah dibangkitkan.
Yang Berhormat Senator Datuk Arman Azha bin Abu Hanifah telah membangkitkan tentang isu cukai progresif. Walaupun dia tidak ada perkaitan yang secara langsung, tetapi saya rasa di Peringkat Dasar, kita boleh bincangkan.
Tuan Sim Chee Keong
Untuk saya, kita perlu lihat kepada konsep keadilan dalam sistem percukaian dan apabila kita kata cukai progresif tidak semestinya memangsakan siapa-siapa. Maksudnya ialah kita- cukai progresif ialah apabila seseorang itu mampu dan mungkin dapat mencari rezeki yang lebih di negara ini, maka kita minta supaya mereka memberi sumbangan lebih sedikit kepada pembangunan negara. Jadi ini adalah daripada konsep pengagihan yang lebih adil terutamanya kepada masyarakat secara amnya. Jadi untuk saya tidak ada isu di mana ada...
Tuan Yang di-Pertua
...Jawapan.
Tuan Sim Chee Keong
Kita bagi peralihan Kerusi Speaker. Kerusi Yang di- Pertua dahulu.
[Timbalan Yang di-Pertua mempengerusikan Mesyuarat] Terima kasih Tan Sri. Selamat datang Dato’, Timbalan Yang di-Pertua.
Jadi untuk saya, apa-apa cukai yang telah dikutip sama ada oleh golongan berada ataupun golongan rakyat biasa, golongan pekerja dan sebagainya, ia akan diagihkan semula untuk pembangunan. Kalau kita lihat daripada segi golongan usahawan contohnya, kalau mereka dapat mencari rezeki, mendapat untung, keuntungan melalui perniagaan mereka dan boleh bayar cukai, maka duit cukai itu akan disalurkan semula.
Contohnya dalam Belanjawan 2024 ini kerajaan telah memberikan peningkatan yang agak tinggi untuk sektor SME iaitu lebih kurang RM4 bilion daripada RM40 bilion tahun lepas kepada RM44 bilion pada tahun hadapan iaitu 2024. Jadi semua ini akan dinikmati oleh pelbagai pihak.
Tentang penubuhan, juga oleh Yang Berhormat Senator Dato’ Arman, tentang penubuhan jawatankuasa peringkat negeri dan wilayah. Sebenarnya RUU ini hanya terpakai bagi Kerajaan Persekutuan dan entiti Kerajaan Persekutuan sahaja. Termasuk tadi saya sudah sebut syarikat-syarikat MKD iaitu syarikat Menteri Kewangan
(Diperbadankan) di bawah Akta 375 dan syarikat berhad menurut jaminan MOF (Inc.), badan-badan berkanun Persekutuan.
Jadi tidak ada perkaitan kalau kita nak bangkitkan tentang jawatankuasa kecil di peringkat negeri dan wilayah, tetapi saya juga galakkan, tadi ada yang sebut tentang, adakah perkara ini melibatkan kementerian lain ataupun kerajaan negeri lain? Saya galakkan supaya mungkin kerajaan-kerajaan negeri juga boleh melihat kepada amalan terbaik- best practices, dengan izin, di bawah RUU ini dan mengguna pakai sama ada secara perundangan ataupun secara dasar di peringkat negeri masing-masing.
Senator Dr. Hajah Wan Martina binti Wan Yusoff bertanya tentang bagaimana kerajaan mengurangkan ketirisan dan pembaziran kewangan secara amnya, kewangan awam. Sebenarnya RUU ini merupakan salah satu langkah untuk kita memastikan pengurusan fiskal negara yang lebih berhemah. Saya sudah kata tadi, apabila kita no longer dengan izin, no longer the Minister of Finance sets fiscal target behind the close door of the Treasury. Sini kementerian, Menteri secara khususnya perlu menjawab, bertanggungjawab kepada Parlimen, kepada wakil rakyat, kepada rakyat secara amnya tentang strategi-strategi microeconomic yang telah ditetapkan dalam Kementerian Kewangan.
Jadi ini antara satu langkah untuk kita melihat kepada pengurusan kewangan, mengurangkan ketirisan dan pembaziran. Sudah tentu langkah-langkah lain yang telah banyak kali dibicarakan, contohnya amalan membanteras rasuah melalui amalan-amalan seperti tender terbuka, melaksanakan perbelanjaan secara lebih berhemah melalui pelaksanaan dasar subsidi bersasar dan memperluaskan lagi asas cukai, mengutip cukai dengan lebih cekap dan sebagainya. Ini semua membantu untuk mengurangkan ketirisan dan pembaziran kewangan.
Yang Berhormat Senator Tuan Musoddak bin Ahmad tanya tentang definisi pertunjuk ekonomi dan mencadangkan meletakkan definisi-definisi yang lain.
Untuk tujuan RUU ini dalam fasal 32 Bahagian VI, Menteri Kewangan dikehendaki untuk menerbitkan laporan ekonomi yang mengandungi maklumat tentang prestasi ekonomi semasa dan unjuran ekonomi termasuk unjuran mikroekonomi yang terdiri daripada:
(i) KDNK dan komponennya;
(ii) inflasi;
(iii) pasaran buruh; dan
(iv) petunjuk ekonomi yang lain berkaitan.
Kita akan- dan sebenarnya pada tahun ini kita telah pun menerbitkan laporan ekonomi sebegini secara tahunan. Mungkin kalau ada petunjuk lain untuk ditambah baik, kita akan kementerian akan pantau dan kita akan mempertimbangkan dari semasa ke semasa.
Yang Berhormat Datuk Seri Prof. Dr. Awang bin Sariyan telah menyebut tentang adakah kerajaan bertujuan untuk menyemak geran-geran yang telah diberikan kepada kerajaan negeri? Saya sudah sebutkan tadi sebenarnya ini adalah tentang FRA yang bertujuan untuk pengurusan macroeconomics terutamanya kita nak mencapai kestabilan macroeconomics. Jadi isu-isu pengagihan belanjawan dan peruntukan mungkin tidak berbangkit dalam RUU ini.
Timbalan Yang di-Pertua
Lama lagi?
Tuan Sim Chee Keong
Kerajaan...
Timbalan Yang di-Pertua
Lama lagi?
Tuan Sim Chee Keong
Boleh sahaja, sebab saya sudah jawab sebenarnya secara am untuk banyak soalan yang telah dibangkitkan tetapi demi menghormati tadi arahan Yang di-Pertua, saya cuba untuk bagilah setiap Senator itu. Jadi, saya rasa...
Timbalan Yang di-Pertua
Kalau tidak boleh jawab secara lisan, jawab secara bertulis...
[Ketawa]
Tuan Sim Chee Keong
Kalau...
Timbalan Yang di-Pertua
Kawan Menteri Yang Berhormat pun tengah menunggu itu.
Tuan Sim Chee Keong
Kalau dibenarkan- saya sudi untuk menjawab, tapi saya rasa kebanyakan isu-isu yang telah dibangkitkan itu telah dijawab sama ada secara am ataupun secara khusus dalam masa yang telah diberikan kepada saya.
Jadi, kalau ada apa-apa benda yang saya belum jawab, saya minta pegawai- pegawai yang ada di sini untuk memberikan perhatian dan kita bagi secara bertulis kepada Ahli-ahli Yang Berhormat yang telah membangkitkan isu-isu yang telah dalam perbahasan mereka. Jadi dengan itu mungkin saya akhiri perbahasan saya, penggulungan saya dengan sebuah pantun.
Akhlak dihisab daripada bicara, Pemimpin dihisab dari fatanah; Tahniah Ahli Dewan Negara, Melulus kanun penuh bersejarah. Terima kasih...
[Tepuk]
Timbalan Yang di-Pertua
Terima kasih Yang Berhormat Menteri.
Ahli-ahli Yang Berhormat sekarang saya kemukakan kepada masalah Majlis untuk diputuskan. Masalahnya ialah bahawa rang undang-undang ini dibacakan kali kedua sekarang.
[Masalah dikemukakan bagi diputuskan; dan disetujukan] [Rang undang-undang dibacakan kali yang kedua dan diserahkan kepada Dewan sebagai Jawatankuasa] [Majlis bersidang dalam Jawatankuasa] [Timbalan Yang di-Pertua mempengerusikan Jawatankuasa] [Fasal-fasal dikemukakan kepada Jawatankuasa]
Datuk Wira Dr. Mohd Hatta bin Md Ramli
Tuan Pengerusi.
Timbalan Pengerusi
Yang Berhormat nak berbahas ya?
Datuk Wira Dr. Mohd Hatta bin Md Ramli
Tuan Pengerusi...
[Ketawa]
Timbalan Pengerusi
Baik, silakan.
Datuk Wira Dr. Mohd Hatta bin Md Ramli
Saya nak buat pertanyaan. Ini kejahilan sayalah ya. Dalam rangka tajuk rang undang-undang ini, kalau kita baca, “Suatu akta untuk membuat peruntukan mengenai tanggungjawab, kebertanggungjawaban, tadbir urus dan ketelusan kerajaan dalam...” Koma itu yang saya tidak faham.
Adakah itu memang standard bahasa undang-undang ataupun- tetapi kalau dalam bahasa Inggeris pun koma juga, jadi macam selari, tetapi dengan Bahasa Malaysia saya yang tidak berapa ini- saya rasa pelik sedikit. Itu sahaja Pengerusi ya.
Timbalan Pengerusi
Baik, ada lain? Saya mempersilakan Yang Berhormat Timbalan Menteri untuk menjawab soalan tadi itu.
Seorang Ahli
Pantun dulu.
Timbalan Pengerusi
Pantun dulu...
[Ketawa]
Tuan Sim Chee Keong
Boleh ulang sekali lagi- koma kat mana? Saya duk cari koma itu. Koma tak jumpa.
Datuk Wira Dr. Mohd Hatta bin Md Ramli
Dato’ Pengerusi. Tajuk itu ya, “Bernama suatu akta untuk membuat peruntukan mengenai tanggungjawab, kebertanggungjawaban, tadbir urus dan ketulusan kerajaan dalam...” Dia ada koma kat situ je. Jadi kalau kita biasa buat ayat yang mempunyai berbagai-bagai bahagian, koma itu yang selepas yang pertama. If you can catch my …
Tuan Sim Chee Keong
Ini pergi kelas bahasa pula sebab dia panjang.
Datuk Wira Dr. Mohd Hatta bin Md Ramli
Ya, ya.
Tuan Sim Chee Keong
So, dia bagi koma supaya kita baca stop sekejap...
[Ketawa]
Datuk Wira Dr. Mohd Hatta bin Md Ramli
Itu cara kita. Dia suruh cara kita membaca ya, bukan daripada segi adab bahasalah.
Dato’ Dr. Nelson a/l Renganathan
Tak ada, pasal dia ada tiga perkara berasingan. So, dia koma kat sana pasal dia ada tiga perkara berasingan...
[Ketawa]
Datuk Wira Dr. Mohd Hatta bin Md Ramli
Betul Prof...
Dato’ Dr. Nelson a/l Renganathan
Itu yang...
Datuk Wira Dr. Mohd Hatta bin Md Ramli
Itu yang saya sebut. Ada tiga. Ada, ada lebih daripada satu benda. Jadi selalunya.
Timbalan Pengerusi
Jadi Yang Berhormat sekarang nak pinda- nak pinda itu?
[Ketawa]
Datuk Wira Dr. Mohd Hatta bin Md Ramli
Nak beredarlah. Kalau, kalau ada penjelasan daripada pakar bahasa seperti profesor sebelah saya ini. Settle-lah kita ya.
Sebab kalau ada tiga, yang pertama itu kita baca sebagai satu ayat dulu.
Timbalan Pengerusi
Saya tahu.
Datuk Wira Dr. Mohd Hatta bin Md Ramli
Koma, yang kedua. Koma, yang ketiga. Sambung, itu ya, tetapi ini koma yang pertama tadi dikomakannya ya.
Timbalan Pengerusi
Saya faham. Tadi maknanya Yang Berhormat bukan nak pinda lah?...
[Ketawa]
Datuk Wira Dr. Mohd Hatta bin Md Ramli
Bukan. Kalau silap, pindalah. Kalau silap saya, saya dengan segala rendah diri memohon ampun dan maaflah, tetapi kalau ada Profesor Emeritus kita sebelah ini boleh komen, cantiklah.
Datuk Seri Prof. Emeritus Dr. Awang bin Sariyan
Terima kasih Tuan Yang di- Pertua. Memang ada kejanggalan kalau kita lihat dalam konteks strukturnya tetapi saya dapat mencuba memahami penerangan Yang Berhormat Timbalan Menteri tadi iaitu soal “kebertanggungjawaban, tadbir urus dan ketulusan kerajaan...” dalam hal apa? Dalam hal menguruskan kewangan awam. Jadi saya dapat memahami keberadaan tanda koma di situ. Terima kasih.
Timbalan Pengerusi
[Ketawa] Yang Berhormat Hatta memandangkan pandangan Yang Berhormat Hatta itu belum.
Datuk Wira Dr. Mohd Hatta bin Md Ramli
The authority has spoken Dato’ Pengerusi. I have… [Ketawa]
[Dewan riuh]
Timbalan Pengerusi
[Ketawa] Tak ada, kalau saya dah pinda, boleh panjang lagi...
[Ketawa]
Datuk Wira Dr. Mohd Hatta bin Md Ramli
I rest my case-lah.
Timbalan Pengerusi
[Ketawa] Okey, terima kasih. Timbalan Menteri tak ada jawapan lagi ya? Baik.
[****Fasal-fasal 1 hingga 38** diperintahkan jadi sebahagian daripada rang undang- undang] [Rang undang-undang dimaklumkan kepada Majlis sekarang] [Majlis Mesyuarat bersidang semula] [Rang undang-undang dilaporkan dengan tidak ada pindaan; dibacakan kali yang ketiga, disokong oleh Timbalan Menteri Kewangan (Datuk Seri Haji Ahmad bin Haji Maslan) dan diluluskan]
Timbalan Yang di-Pertua
Dipersilakan Timbalan Menteri.
Timbalan Menteri Kewangan - Datuk Seri Haji Ahmad bin Haji Maslan
Dato’ Timbalan Yang di-Pertua. Assalamualaikum warahmatullah. Salam perpaduan, salam satu Malaysia.
Timbalan Yang di-Pertua
Yang Berhormat Timbalan Menteri, saya alpa sikit.
Saya kena buat pemasyhuran. Sebentar.
Datuk Seri Haji Ahmad bin Haji Maslan
Ha ada lagi?
Timbalan Yang di-Pertua
Sambung balik tempat saya buat pemasyhuran. Ahli- ahli Yang Berhormat, merujuk kepada peruntukan Peraturan Mesyuarat 11(5), Peraturan- peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Negara, saya hendak menetapkan bahawa Majlis Dewan Negara hari ini tidak akan ditangguhkan sehingga selesai diputuskan dan diluluskan Undang-undang Dewan Rakyat 32/2023. Rang Undang-undang Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (Pindaan) 2023 (dengan pindaan di peringkat Jawatankuasa sebuah-buah Majlis) seperti yang tertera di nombor 2, dalam Aturan Urusan Mesyuarat hari ini dan selepas itu Majlis Mesyuarat ditangguhkan sehingga jam 10 pagi, hari Selasa, 28 November 2023.
Yang Berhormat Menteri, teruskan.
Datuk Seri Haji Ahmad bin Haji Maslan
Sekali lagi, assalamualaikum. Salam sejahtera, salam perpaduan, salam Malaysia Madani.
Tidak elok bersifat bakhil, Terutama bila di Hari Raya; Rang undang-undang Lembaga Hasil, Dengarkan ini huraiannya. Pantun lagi.
Timbalan Yang di-Pertua
[Ketawa]
Datuk Seri Haji Ahmad bin Haji Maslan
Dato’ Timbalan Yang di-Pertua, saya mohon mencadangkan suatu akta untuk meminda Akta Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia 1995 dibacakan kali kedua sekarang.
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia
(LHDNM) ialah sebuah badan berkanun yang diberi kuasa di bawah Akta Lembaga Hasil
Dalam Negeri Malaysia 1995 - Akta 533
berkuat kuasa 1 Mac 1996. LHDN bertindak sebagai agen kerajaan dan memberikan perkhidmatan dalam pentadbiran, pentafsiran, pemungutan dan penguatkuasaan pembayaran cukai pendapatan, cukai pendapatan petroleum, cukai keuntungan harta tanah, duti harga pusaka, duti setem dan apa-apa cukai lain sebagaimana yang dipersetujui antara kerajaan dengan Lembaga Hasil.
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, tuntutan kerajaan negeri Sabah dan Sarawak yang menyatakan keperluan agar wakil kerajaan negeri tersebut dilantik sebagai anggota Lembaga Hasil adalah untuk memastikan isu-isu percukaian yang berkaitan kedua-dua negeri dapat ditangani dan disampaikan dengan sewajarnya.
Dalam hubungan ini, cadangan keanggotaan wakil Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak boleh dipertimbangkan bagi menggalakkan pengurusan cukai yang objektif dan bebas selain berusaha mengadaptasi amalan tadbir urus terbaik global seperti yang ditetapkan oleh Kod Tadbir Urus Korporat Malaysia 2021.
Dato’ Timbalan Yang di-Pertua, untuk mencapai sasaran kutipan hasil cukai langsung kasar yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kewangan, Lembaga Hasil memerlukan penggunaan sumber yang paling optimum bagi memastikan keperluan tersebut dipenuhi. Oleh yang demikian, Lembaga Hasil hendaklah sentiasa memastikan kedudukan kewangannya kekal berada pada kedudukan lebihan iaitu surplus pada setiap tahun demi menjamin kemapanan Lembaga Hasil dalam jangka panjang.
Saya mohon untuk menghuraikan setiap fasal dalam rang undang-undang ini.
Rang undang-undang ini mempunyai lima fasal seperti berikut:
Fasal 1 mengandungi tajuk ringkas dan peruntukan mengenai permulaan kuat kuasa akta yang dicadangkan.
Fasal 2 bertujuan untuk meminda seksyen 6 Akta 533 dengan memasukkan perenggan baharu (1)(da) dan (db) untuk meluaskan keanggotaan lembaga dengan menambah seorang yang mewakili negeri Sabah yang hendaklah dilantik oleh Menteri selepas berunding dengan Ketua Menteri Sabah.
Dalam Negeri Malaysia 1995 - Akta 533
Seseorang yang mewakili negeri Sarawak yang hendaklah dilantik oleh Menteri selepas berunding dengan Primier Sarawak. Fasal ini juga memperuntukkan bahawa orang yang mewakili negeri Sabah dan negeri Sarawak itu hendaklah daripada kalangan orang yang berkedudukan dan berpengalaman dalam perkara kewangan, komersial, percukaian atau undang-undang.
Fasal 3 bertujuan untuk meminda seksyen 7 [Akta 533] bagi memperuntukkan bahawa anggota yang dilantik di bawah perenggan 61(d)(a) atau (d)(b) hendaklah juga memegang jawatan tertakluk kepada apa-apa terma sebagai mana yang ditentukan oleh Menteri selama tempoh tidak melebihi tiga tahun dan hendaklah boleh dilantik semula.
Fasal 4 bertujuan untuk meminda seksyen 9 [Akta 533] bagi memperuntukkan bahawa Menteri boleh pada bila-bila masa tanpa memberikan apa-apa sebab membatalkan pelantikan seseorang anggota yang dilantik di bawah perenggan 61(d)(a) selepas berunding dengan Ketua Menteri Sabah dan membatalkan pelantikan seseorang anggota yang dilantik di bawah perenggan 61(d)(b) selepas berunding dengan Primer Sarawak.
Selain itu, anggota yang dilantik di bawah perenggan 61(d)(a) atau (d)(b) juga boleh pada bila-bila masa meletakkan jawatan dengan memberikan notis secara bertulis kepada Menteri.
Sebagai mana kertas pindaan dalam jawatankuasa yang telah dipertimbangkan dan dipersetujukan dalam Dewan Rakyat, pindaan kepada fasal 4 juga bertujuan untuk memperuntukkan bahawa Menteri hendaklah melantik dengan serta-merta orang lain di bawah perenggan 61(d)(a) atau 61(d)(b) sebagai pengganti anggota yang telah dibatalkan pelantikannya itu.
Fasal 5 bertujuan untuk meminda perenggan 28(a) [Akta 533] bagi meluaskan kuasa pelaburan Lembaga dan menyimpan wang Lembaga yang ada untuk pelaburan ke dalam Bank Islam yang dilesenkan dengan sewajarnya di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013.
Mana-mana institusi kewangan lain yang dilesenkan dan sewajarnya di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013, Institusi Kewangan Pembangunan yang dikawal selia dengan sewajarnya di bawah Akta Institusi Kewangan Pembangunan 2002 atau koperasi yang didaftarkan dengan sewajarnya di bawah Akta Koperasi 1993.
Datuk Timbalan Yang di-Pertua, secara keseluruhannya cadangan pindaan terhadap keanggotaan lembaga dan kuasa pelaburan Lembaga Hasil di bawah seksyen
6, seksyen 7, seksyen 9 dan seksyen 28 - Akta 533
adalah:
(i) pertama, untuk memenuhi aspirasi Perjanjian Malaysia 1963 dengan izin Malaysia Agreement 1963 (MA63) supaya dilantik wakil kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak dalam keanggotaan Lembaga Hasil seperti yang dibangkitkan dalam Mesyuarat Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963.
(ii) untuk memastikan keanggotaan Lembaga Hasil seimbang dengan tadbir urus korporat terbaik yang menerapkan nilai semak dan imbang selaras dengan amalan terbaik di peringkat global.
(iii) untuk mengoptimumkan pendapatan pelaburan serta memperkemaskan fungsi pelaburan Lembaga Hasil iaitu dengan meluaskan kos pelaburan melalui penyimpanan wang ke dalam mana-mana bank atau institusi kewangan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 [Akta 759], Akta Institusi Kewangan Pembangunan 2002 dan Akta Koperasi 1993.
(iv) untuk memberikan Lembaga Hasil lebih banyak alternatif bagi peletakan pelaburannya terutama dalam pelaburan yang patuh syariah.
(v) untuk mendapatkan kadar pulangan pelaburan yang lebih menguntungkan dan kompetitif melalui kepelbagaian alternatif tersebut.
(vi) untuk memastikan Lembaga Hasil selaku badan berkanun berstatus diasingkan saraan dan dibebaskan sepenuhnya dapat memaksimumkan pendapatannya bagi menampung sebahagian perbelanjaan tahunan iaitu kos operasi dan modal yang semakin meningkat; dan
(vii) untuk memastikan Lembaga Hasil kekal relevan dalam menjalankan aktiviti pelaburan seiring dengan perkembangan pelaburan yang ditawarkan di pasaran. Perbandingan peruntukan akta mengenai kuasa pelaburan antara agensi kerajaan yang lain seperti Akta Kumpulan Wang Persaraan 2007 juga telah dilaksanakan sebagai penanda aras.
Datuk Yang di-Pertua, kesimpulannya Rang Undang-undang Lembaga Hasil
(Pindaan) 2023 ini adalah perlu dan penting supaya Lembaga Hasil dapat melaksanakan fungsi-fungsi utama penubuhannya dengan lebih berkesan. Semoga dengan pindaan ini Lembaga Hasil akan dapat memainkan peranan jitu dalam menyumbang kepada pertambahan hasil negara.
Datuk Yang di-Pertua, saya mohon mencadangkan.
Timbalan Yang di-Pertua
Ada sesiapa yang menyokong?
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup - Puan Hajah Fuziah binti Salleh
Datuk Yang di-Pertua, saya pohon menyokong Usul ini.
Timbalan Yang di-Pertua
Ahli-ahli Yang Berhormat, masalah yang di hadapan Majlis iaitu suatu akta untuk meminda Akta Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia 1995, dibacakan kali kedua sekarang dan terbuka untuk dibahaskan.
Ahli Yang Berhormat, di hadapan saya ada seramai 18 orang yang hendak berbahas. Maka, saya buat ketetapan bahawa, masa yang diberikan adalah sebanyak lima minit seorang.
Okey dipersilakan YB Senator Dato’ Kesavadas a/l A Achyuthan Nair untuk memulakan perbahasan.
Dato’ Kesavadas a/l A Achyuthan Nair
Terima kasih Timbalan Yang di-Pertua.
Keanggotaan wakil negeri Sabah dan Sarawak dalam Lembaga Hasil Dalam Negeri seperti yang digariskan dalam rang undang-undang ini merupakan satu anjakan reformasi terhadap institusi LHDN sebagai lembaga yang mengurus tadbir percukaian negara sejak tahun 1995.
Anjakan tersebut membuktikan bahawa Kerajaan Malaysia Madani hari ini serius untuk menjadikan Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi utama dalam menterjemahkan usaha untuk memacu pembangunan kedua-dua negeri Borneo tersebut menerusi hasil percukaian nasional.
Sebagai Ahli Dewan Negara yang mendukung sepenuhnya Perjanjian Malaysia 1963, atau yang kita panggil MA63, saya berpendirian bahawa kebersamaan atau inclusivity yang diberikan pada Sabah dan Sarawak dalam keanggotaan Lembaga Hasil Dalam Negeri berupaya mengurangkan jurang antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak dalam perihal urus tadbir percukaian.
Penglibatan wakil daripada kedua-dua negeri Borneo itu membolehkan koordinasi penyaluran hasil bagi tujuan pembangunan fizikal di peringkat negeri dapat dilaksanakan secara kolaboratif sejajar dengan pemberian hak autonomi yang diberikan oleh Kerajaan Persekutuan kepada kedua-dua negeri tersebut dalam hal-hal tertentu.
Memandangkan negeri Sabah dan Sarawak merupakan antara dua buah negeri yang perlu diberikan perhatian khusus dalam aspek pembangunan semula atau redevelopment dengan izin, ruang advocacy yang turut diberikan kepada wakil Sabah dan Sarawak dalam LHDN membolehkan mereka mengenal pasti sumber-sumber ekonomi negeri yang berpotensi untuk diperkasakan pada masa hadapan.
Pemerkasaan tersebut mampu meningkatkan pendapatan bagi kedua-dua negeri tersebut yang boleh memberi pulangan semula kepada negara dalam bentuk percukaian menerusi koordinasi serta pengurusan percukaian yang berlandaskan elemen kesaksamaan atau equality dengan izin, secara saksama pada Sabah dan Sarawak mengikut keutamaan pembangunan seperti mana yang digariskan dalam MA63.
Tanpa tekad politik atau political will yang teguh oleh Kerajaan Perpaduan, pindaan Akta 533 yang merupakan kesinambungan kepada persetujuan Kabinet pentadbiran yang lalu terhadap pelantikan wakil Sabah, Sarawak dalam LHDN tidak akan mampu direalisasikan.
Berhubung dengan perihal tersebut, saya ingin membangkitkan tiga persoalan kepada Yang Berhormat Timbalan Menteri.
Pertama, apakah latar belakang serta kelayakan profesional wakil-wakil Sabah dan Sarawak yang telah dilantik untuk menganggotai Lembaga Hasil Dalam Negeri?
Sejauh mana kah pelantikan-pelantikan yang dibuat benar-benar mematuhi piawaian pelantikan yang digariskan dalam seksyen 6(2) dan apakah bentuk penilaian akal yang dibuat terhadap wakil-wakil Sabah, Sarawak yang telah dilantik untuk memastikan mereka tidak melanggar apa-apa yang disebut dalam seksyen 8(a)?
Kedua, bagaimanakah penglibatan wakil-wakil Sabah dan Sarawak dalam LHDN boleh mendorong amalan urus tadbir percukaian yang lebih telus dengan mengutamakan kesaksamaan dalam perihal penyaluran hasil kepada negeri?
Dato’ Kesavadas a/l A Achyuthan Nair
Ketiga, apakah perkara yang sedang diberi penelitian serius menerusi perhatian bersama Lembaga Hasil Dalam Negeri bagi menyeragamkan kadar geran khas tahunan pada Sabah dan Sarawak selaras dengan persetujuan yang dicapai dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTP) (MA63)?
Dengan itu Tuan Yang di-Pertua, sekian sahajalah ucapan perbahasan saya.
Saya pohon menyokong. Sekian, terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua
Terima kasih YB.
Sekarang saya jemput YB Senator Dato’ (Dr.) Arman Azha Abu Hanifah untuk berbahas.
Dato’ (Dr.) Arman Azha Abu Hanifah
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam sejahtera. Salam Malaysia Madani.
Dari Pontian pergi ke Machap, Jalan bersama singgah Keramat; Selamat datang tulus diucap, Timbalan Menteri Yang Berhormat. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua kerana memberikan peluang untuk berbahas sekali lagi Rang Undang-undang Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (Pindaan) 2023.
Tuan Yang di-Pertua, seperti yang YB sekalian sedia maklum bahawa Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak telah membuat satu tuntutan. Tuntutan agar keperluan wakil Kerajaan Negeri Sabah dan juga Sarawak dilantik mengetuai Lembaga Hasil. Perkara ini adalah untuk memastikan isu-isu percukaian yang berkaitan tentang kedua-dua wilayah ini dapat ditangani dan diuruskan dengan sewajarnya.
Rang Undang-undang Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (Pindaan) 2023 ini adalah penting. Lembaga Hasil dapat melaksanakan fungsi-fungsi penubuhan dengan lebih berkesan sejajar dalam penyumbangan kepada penambahan hasil negara.
Pindaan ini memenuhi aspirasi Perjanjian Malaysia 1963 supaya dilantik wakil Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak dalam keanggotaan Lembaga Hasil.
Tuan Yang di-Pertua, saya percaya langkah ini diambil sebagai menghormati hak Wilayah Sabah dan Sarawak, selaras dengan MA63. Ini secara langsung akan memberikan akses pada Sabah dan Sarawak terhadap maklumat berkaitan kutipan, agihan hasil percukaian agar tuntutan selayaknya dapat dibuat dengan perkara-perkara yang melibatkan peruntukan dan kewangan daripada Kerajaan Pusat.
Dengan adanya wakil daripada mereka di Lembaga Hasil, maklumat mengenai kutipan hasil akan jadi lebih jelas. Berkemungkinan perancangan lebih baik dalam pembangunan kedua-dua wilayah. Hal ini mustahak kerana apabila pendapatan keseluruhan negara diketahui dengan jelas, maka Wilayah Sabah dan Sarawak boleh membuat tuntutan jumlah yang dirasakan sewajar dengan hak dan undang-undang tersedia.
Tuan Yang di-Pertua, selain daripada pindaan penglibatan wakil Wilayah Sabah dan Sarawak, satu lagi pindaan yang sama penting ialah berkaitan perluasan pelaburan LHDN. Pindaan ini akan memberikan kelebihan, juga pelbagai alternatif kepada LHDN dalam sektor pelaburan. Pindaan ini juga akan turut membuka ruang kepada LHDN untuk mengambil pendekatan yang lebih progresif terhadap sumber kewangan dalam saluran dan peluang pelaburan yang lebih luas. Anjakan langkah ini diambil akan memperkasakan tadbir urus dan tatakelola LHDN dalam menyasarkan kestabilan, kepulangan, kewangan demi memenuhi keperluan dana negara.
Oleh yang demikian, saya mohon agar kutipan cukai dan pendapatan pelaburan yang dijana oleh LHDN ini dapat dikembalikan kepada rakyat untuk dimanfaatkan dengan lebih cekap dan bertanggungjawab. Saya amat berharap Tuan Yang di-Pertua, Rang Undang-undang Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia ini dapat dicapai dengan aspirasi yang disasarkan kerana hari ini kita lihat kedua-dua wilayah ini memikirkan bagaimana untuk mendapatkan penambahbaikan daripada segi infrastruktur. Walaupun kita telah merdeka berpuluh-puluh tahun, keadaan infrastruktur di kedua-dua wilayah ini perlu ada penambahbaikan.
Jadi, dasar Rang Undang-undang Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia
(Pindaan) 2023 ini merupakan pindaan yang amat penting pada Sabah dan Sarawak.
Saya mewakili Semenanjung Malaysia ini sentiasa akan menyokong dasar-dasar yang melihat baik untuk kedua-dua rakan kita di Sabah dan Sarawak...
[Tepuk] Jadi, apa yang dibahaskan pada hari ini, saya doakan agar dapat mendapat tujuan aspirasi yang disasarkan. Oleh yang demikian, saya sudahi perbahasan saya hari ini dengan terus menyokong. Sekian, wabilahitaufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam perjuangan. Salam Malaysia Borneo.
Timbalan Yang di-Pertua
Terima kasih YB.
Sekarang ini saya jemput YB Senator Dr. Hajah Wan Martina binti Wan Yusoff untuk berbahas.
Dr. Hajah Wan Martina binti Wan Yusoff
Bismillahi Rahmani Rahim.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua atas peluang yang diberikan kepada saya untuk membahaskan Rang Undang-undang Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (Pindaan) 2023.
Saya menyokong penuh pindaan ini. Cuma ada beberapa persoalan yang saya akan bertanya dan harapan saya dengan penambahan wakil dari Sabah dan Sarawak, kita dapat mengutip hasil dengan lebih cekap. Juga pengagihan hasil pada Negeri Sabah dan Sarawak ini dapat dilaksanakan dengan baik bagi mengurangkan jurang kemiskinan di Sabah dan Sarawak.
Soalan saya seterusnya adalah, apakah usaha-usaha yang telah dilaksanakan oleh kerajaan untuk meningkatkan kecekapan kutipan hasil cukai? Seperti yang kita tahu, dalam Laporan Tahun 2022 ada sedikit penurunan kutipan cukai. Jadi, apakah usaha yang telah dijalankan oleh kerajaan? Selain daripada itu, saya juga ingin bertanya, selain daripada kita menambahkan kecekapan untuk mengutip cukai, apakah usaha ataupun inisiatif yang telah dilaksanakan oleh kerajaan dalam membantu pembayar-pembayar cukai supaya mereka dapat mengemukakan ataupun melaporkan pendapatan sebenar pada Lembaga Hasil Dalam Negara?
Seperti kita tahu, rakyat kita ini apabila sebut Lembaga Hasil Dalam Negeri
(LHDN) ini, semua rasa takut. Apabila sebut nama itu. Seolah-olah ada satu stigma kepada rakyat. Kita- semua takut untuk melaporkan pendapatan sebenar. Jadi, adakah usaha yang telah dijalankan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri dalam memberi pendidikan kepada bakal-bakal pembayar cukai seperti usahawan-usahawan online, pemilik-pemilik perniagaan supaya mereka lebih memahami bagaimana untuk mengemukakan pendapatan ataupun melaporkan pendapatan sebenar pada Lembaga Hasil Dalam Negeri ini?
Kita juga hendak melihat Lembaga Hasil Dalam Negeri lebih mesra kepada pembayar-pembayar cukai ini dengan harapan, dengan cara ini kerajaan dapat meningkatkan hasil. Pada masa yang sama dapat membantu pembayar-pembayar cukai ini dari terkena denda apabila lewat mengemukakan laporan ataupun laporan silap. Ini menyebabkan pembayar-pembayar cukai ini dikenakan denda yang tinggi dan juga terkena penalti yang agak tinggi nilainya kepada pembayar cukai. Jadi, apakah peranan Lembaga Hasil Dalam Negeri dalam membantu pembayar-pembayar cukai ini?
Saya juga menyokong penuh pindaan ini pada fasal 5 yang bertujuan untuk meminda perenggan 28(a) Akta 533 bagi meluaskan kuasa pelaburan lembaga dengan menyimpan wang Lembaga yang ada untuk pelaburan ke dalam Bank Islam atau dilesenkan dengan sewajarnya di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan Islam. Jadi, dengan itu saya mohon menyokong. Sekian, terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua
Terima kasih YB.
Sekarang ini saya jemput YB Senator Datuk Seri Prof. Emeritus Dr. Awang bin Sariyan untuk berbahas.
Datuk Seri Prof. Emeritus Dr. Awang bin Sariyan
Terima kasih Tuan Yang di- Pertua. Barangkali saya tidak akan mengambil waktu sampai lima minit kerana isi atau intipati perbahasan saya tidak jauh berbeza daripada yang telah disampaikan oleh Yang Berhormat sebelum ini.
Yang pertamanya, saya kira ini suatu anjakan atau apa yang disebut suatu lonjakan yang juga menimbulkan tanda tanya. Mengapa selama ini tidak pernah direncanakan untuk penglibatan wakil dari Sabah dan Sarawak, sedangkan perjanjian itu sudah pun dimateraikan puluhan tahun yang lampau? Jadi, tentulah satu pujian yang harus kita sampaikan kepada pemerintahan, pada pentadbiran kerajaan sekarang.
Walaupun saya kira dapat dipersoalkan, mengapa hal ini tidak pernah difikirkan, tidak pernah dirancang tetapi seperti kata pepatah, “Barang yang lepas janganlah dikenang”.
Jadi, kita terus sahaja bergerak untuk maju ke hadapan.
Datuk Seri Prof. Emeritus Dr. Awang bin Sariyan
Tentulah penglibatan wakil Sabah dan Sarawak akan dapat meningkatkan soal penyelarasan, seperti yang disebut tadi, dalam soal sistem percukaian negara dan juga menunjukkan ketelusan tentang status percukaian dan juga jumlah cukai yang sewajarnya yang dapat dipungut dalam konteks negara sebagai suatu entiti yang menyeluruh yang melibatkan semua wilayah dan semua negeri.
Dalam pada itu, saya kira mungkin ada juga ruang untuk disemak semula tentang keanggotaan lembaga yang sedia ada. Selain soal kita menyetujui perwakilan Sabah dan Sarawak, tetapi keanggotaan lembaga sedia ada sama ada, ada keperluan untuk menambah ataupun menyemak semula. Saya kira ini juga satu ruang yang baik dalam kita membincangkan dan membahaskan rang undang-undang ini supaya ruang itu digunakan juga untuk menyemak keanggotaan lembaga yang ada, jika ada keperluan untuk melakukan sedikit rombakan.
Tentu saya juga memberikan persetujuan yang sepenuhnya pada usaha untuk meluaskan pelaburan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri dengan tujuan juga untuk meningkatkan ataupun juga untuk memacu ekonomi negara bagi menyediakan tambahan pendapatan negara bagi kesejahteraan rakyat dan memungkinkan pelaksanaan program- program yang penting bagi kesejahteraan rakyat dan negara.
Hanya dalam konteks ini, saya bertanya, juga mungkin menyarankan, supaya diadakan satu kajian awalan agar kaedah pelaburan yang dilaksanakan tidak akan mungkin menimbulkan masalah seperti yang pernah berlaku dalam agensi-agensi kerajaan yang lain. Walaupun kita yakin dengan pelaburan telah ditetapkan di bawah institusi bank Islam atau institusi lain di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan Islam, namun demikian, saya kira kajian awalan ini sangat penting supaya kita juga dapat membuat satu unjuran kira-kira sebesar manakah dapatan daripada pelaburan yang direncanakan itu.
Jadi, dengan demikian, Datuk Seri Yang di-Pertua, demikianlah sokongan saya pada rang undang-undang ini. Terima kasih. Assalamualaikum.
Timbalan Yang di-Pertua
Terima kasih, YB.
Sekarang saya jemput YB Senator Abun Sui Anyit untuk berbahas.
Tuan Abun Sui Anyit
Terima kasih, Tuan Yang di-Pertua. Sekali lagi saya ingin mengucapkan terima kasih kerana diberi peluang untuk membahaskan pindaan kepada undang-undang DR32/2023 ini berkaitan dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri.
Pertamanya, saya ingin mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada Kerajaan Perpaduan ataupun Kerajaan Malaysia Madani ini kerana telah prihatin dengan apa yang dikatakan Perjanjian Malaysia 1963. Di mana, seawal pentadbiran kerajaan ini, Perdana Menteri telah dengan begitu murni memberi satu tempoh kalau boleh secepatnya, iaitu pada masa itu adalah dalam masa sebulan, untuk menyelesaikan segala tuntutan yang perlu kita laksanakan di dalam Perjanjian Malaysia 1963 ataupun MA63 ini.
Jadi, dengan itu, kita sangat berterima kasih kepada kerajaan yang ada pada hari ini kerana telah melaksanakan satu tanggungjawab kepada rakyat kita terutamanya dari Sabah dan Sarawak untuk dimasukkan secara undang-undang untuk bersama-sama di dalam Lembaga Hasil Dalam Negeri ini. Di mana, kita telah melihat dan membacanya pada hari ini dan yang ada terbentang di hadapan kita, ini sesuatu yang sangat baik untuk negara kita di mana kita dari Sabah dan Sarawak tidak lagi teraba-raba dalam gelap berapakah pendapatan negara ini sebenarnya apabila kita bercakap tentang hasil dalam negara kita ini.
Jadi, justeru itu, saya percaya dengan adanya wakil dari Sabah dan Sarawak di dalam Lembaga Hasil Dalam Negeri ini, saya berharap supaya segala pembangunan akan dirancang dengan sebaiknya kerana tidak ada lagi sesuatu yang rahsia di kalangan wilayah-wilayah yang membentuk Malaysia ini.
Jadi, justeru itu, saya juga berharap kepada sesiapa pun yang dilantik dari Sabah dan Sarawak yang mewakili dua buah wilayah ini supaya melaksanakan tanggungjawab dengan sebaiknya supaya wilayah ini akan dapat dibangunkan setara dengan rakan-rakan kita ataupun kawasan-kawasan kita di Semenanjung Malaysia ini.
Ini adalah sangat penting kerana kita perlu memberi keadilan pada Sabah dan Sarawak ataupun rakyat Sabah dan Sarawak supaya hasil dalam negara ini digunakan sebaik mungkin untuk memajukan semua wilayah kita. Apabila keadaan ini berlaku, maknanya tidak ada yang rasa dinafikan, tidak ada yang merasakan dirinya ditinggalkan dalam pembangunan yang ada.
Kita- semua maklum, kita- semua tahu bahawa wilayah Sabah dan Sarawak ini masih ketinggalan daripada segi infrastruktur, baik itu jalan raya, baik itu air, baik itu elektrik. Mungkin kita mendabik dada untuk mengatakan kita maju sekarang. Ya, tetapi tidak setara dengan rakan-rakan ataupun kawasan kita di Semenanjung ini.
Justeru itu, saya berharap supaya wakil yang dilantik ini nanti akan memainkan peranan mereka dan laporkan kepada kerajaan kita di Sarawak supaya kita mengetahui perkara ini. Apabila ia nya kita ketahui, maka tidak ada lagi satu rahsia di kalangan pentadbiran peringkat Pusat mahupun peringkat negeri untuk sama-sama memajukan kawasan kita.
Justeru itu, sekali lagi, saya memang berterima kasih kepada kerajaan yang ada sekarang dan saya berharap supaya dengan adanya komposisi yang melibatkan semua wilayah ini, maka saya pun berharap supaya semua kawasan kita di dalam Malaysia ini akan dimajukan sama rata supaya kita sama-sama menikmati hasil dalam negara ini yang saya percaya sangat diberkati oleh Tuhan kerana negara ini adalah negara yang sangat bernasib baik. Justeru itu, saya menyokong pindaan ini. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua
Terima kasih. YB Junahis, jauhnya. Sekarang ini saya...
Dato’ Juhanis binti Abd Aziz
Tuan Yang di-Pertua, saya mohon untuk duduk membahaskan Usul ini disebabkan kesihatan saya tidak mengizinkan untuk saya berdiri.
Timbalan Yang di-Pertua
Baik. Terima kasih.
Sekarang ini saya jemput Yang Berhormat Senator Dato’ Juhanis binti Abd Aziz.
Dato’ Juhanis binti Abd Aziz
Terima kasih Yang di-Pertua. Pertama sekali, saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada pihak kerajaan madani kerana telah melakukan reformasi berkaitan Rang Undang-undang Lembaga Hasil Dalam Negeri
(Pindaan) 2023.
Ini membuktikan bahawa kerajaan menghormati dan sedaya upaya memenuhi inspirasi Perjanjian Malaysia 1963 iaitu MA63 agar wakil kerajaan negeri dari Sabah dan Sarawak dilantik ke dalam Lembaga LHDN seperti yang dibangkitkan dalam Mesyuarat Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 (MKMA63). Benar-benar menepati kehendak dan harapan kedua-dua kerajaan.
Tuan Yang di-Pertua, saya menyokong penuh pindaan berkaitan fasal 2 bertujuan untuk meminda seksyen 6, Akta 533 dengan memasukkan perenggan baharu 2(a) dan 2(b) untuk meluaskan anggota Lembaga dan menambah seseorang yang mewakili negeri Sabah dan Sarawak setelah dipersetujui oleh kepimpinan kedua-dua negeri.
Memandangkan menurunkan kuasa yang diberikan pada Sabah dan Sarawak ini, sudah tentu akan memberikan impak perubahan yang besar dalam urusan percukaian negara terutama yang melibatkan kedua-dua negeri terbabit memandangkan anggota Lembaga ini lebih memahami situasi dan keadaan negeri mereka.
Pelantikan ini juga inklusif kerana akan memberi ruang kepada kerajaan negeri untuk mendapatkan pengetahuan yang jelas berkaitan hasil-hasil percukaian seperti cukai pendapatan, cukai pendapatan petroleum, cukai syarikat, cukai keuntungan harta tanah, duti harta pusaka, duti setem dan sebagainya yang dihasilkan oleh negeri mereka dengan lebih jelas dan lengkap tanpa perlu melalui birokrasi yang merumitkan menerusi akses yang akan diberi kepada anggota Lembaga yang telah dilantik.
Tambahan pula, pelantikan ini juga akan memudah cara urusan kerajaan aspek perhubungan menyalurkan hasil kepada kedua-dua negeri ini bagi tujuan pembangunan dan sebagainya.
Dato’ Juhanis binti Abd Aziz
Namun demikian, setelah meneliti pindaan ini dengan lebih jelas maka pada hemat saya perlu ada penambahbaikan berhubung dengan pindaan ini iaitu berkaitan dengan seksyen 6, seksyen (1)(da) dan (db) agar memasukkan perkataan “dipersetujui” selepas perkataan “berunding” kerana ia nya seolah-olah masih lagi meletakkan kuasa untuk melantik ini kepada kuasa Menteri dan seumpama melepaskan batuk di tangga kerana tidak meraikan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) secara menyeluruh.
Aspek pelantikan ini seharusnya dipulangkan kepada pihak kerajaan negeri untuk mempertimbangkan siapa yang layak yang dilantik sebagai anggota lembaga bersandarkan merit, kredibiliti dan profesionalisme dan seterusnya dirunding bersama dengan pihak Menteri dan bukannya seperti yang terdapat di dalam pindaan ini.
Seterusnya, berhubung dengan fasal 5 bertujuan untuk meminda perenggan 28(a) Akta 533 bagi meluaskan kuasa pelaburan lembaga dengan menyimpan wang lembaga yang ada dalam pelaburan ke dalam Bank Islam, institusi kewangan pembangunan dan koperasi yang dilesenkan dengan sewajarnya di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013. Akta Institusi Kewangan Pembangunan 2002 dan Akta Koperasi 1993. Saya ingin mendapat penjelasan berkenaan apakah bentuk-bentuk pelaburan yang akan dilakukan dan sejauh manakah ia nya akan memberi keuntungan kepada kerajaan serta sebagai mana keuntungan daripada pelaburan ini akan digunakan semula.
Mengakhiri ucapan, saya percaya reformasi menerusi pindaan ini merupakan satu perkara yang sangat diraikan oleh rakan-rakan kita dari Sabah dan Sarawak. Sudah pasti pindaan ini akan memberikan sinar dalam konteks keharmonian berhubung di antara Kerajaan Persekutuan dengan negeri Sabah dan Sarawak bagi memastikan asas pembentukan Malaysia pada 1963 terus kukuh bagi menjamin kemaslahatan rakyat yang dinaungi secara amnya. Besarlah harapan saya agar prinsip-prinsip yang dipinda berasaskan kepatuhan kepada Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) ini akan terus menjadi pemangkin keutuhan Malaysia. Akhir kata saya mohon menyokong. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua
Terima kasih YB.
Sekarang saya jemput YB Senator Puan Rita Sarimah anak Patrick Insol untuk bahas.
Puan Rita Sarimah anak Patrick Insol
Terima kasih Timbalan Yang di-Pertua.
Biar lambat asal buat. Tadi saya nak terpanggillah untuk melengkapkan serangkap pantun yang diutarakan oleh Yang Berhormat Senator Datuk Profesor Awang Sariyan. Barang lama jangan dikenang ya.
Asal kapas menjadi benang, Dari benang dibuat kain; Barang yang lepas jangan dikenang, Kelak mengundang penyakit lain. Selama 60 tahun setelah Malaysia dibentuk, masih terdapat peruntukan- peruntukan dalam Perjanjian Malaysia 1963 yang belum dilaksanakan lagi dan pindaan kepada Akta Lembaga Hasil Dalam Negeri yang dibentangkan kepada Dewan yang mulia pada petang ini merupakan salah satu daripada perkara yang masih belum dilaksanakan.
Mungkin ada di antara kita yang bertanda tanya. Setelah 60 tahun, adakah MA63 ataupun Perjanjian Malaysia 1963 masih terpakai? Adakah ia nya masih sah? Ya, MA63 adalah sebuah triti dan tidak dimansuhkan, masih sah dan masih terpakai. Malahan peruntukan fasal 8 kepada perjanjian tersebut memperuntukkan bahawa Kerajaan- kerajaan Persekutuan Malaya, North Borneo dan Sarawak diberi kuasa untuk mengambil mana-mana tindakan perundangan, pentadbiran iaitu legislatif, eksekutif atau tindakan- tindakan lain yang diperlukan untuk melaksanakan jaminan aku janji dan syor.
I hope I got this translation correct, assurances undertakings and recommendations yang terkandung dalam Bab III Lampiran 2, ‘A’ dan ‘B’ kepada Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan atau Inter-Governmental Committee yang ditandatangani pada 26 Februari 1963 yang tidak dilaksanakan melalui peruntukan yang nyata dalam Perlembagaan Persekutuan. Peruntukan Perkara 8 ini, inilah yang memberi mandat kepada Kerajaan Persekutuan, Kerajaan-kerajaan Negeri Sarawak dan Sabah untuk merundingkan pelaksanaan, jaminan, aku janji dan syor di bawah MA63 yang belum dilaksanakan lagi.
Tuan Yang di-Pertua, perkara 24 berkaitan peruntukan kewangan dalam Laporan IGC menetapkan negeri-negeri Borneo iaitu the Borneo states seperti mana digunakan dalam laporan tersebut hendaklah diwakili masing-masing di dalam Lembaga Hasil Dalam Negeri. Dengan izin, it’s took 60 years for us to implement this part of the IGC Report, sesungguhnya pelaksanaan ini, ini tidak susah. Hanya yang diperlukan iaitu kemahuan politik- political will di pihak Kerajaan Persekutuan.
Untuk ini saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada Perdana Menteri atas persetujuan melaksanakan perkara ini. Saya tidak akan menyentuh tentang implikasi daripada pindaan ini. Saya percaya ada rakan-rakan yang terdahulu daripada saya telah menyentuh perkara-perkara tersebut dan memadai bagi saya Tuan Yang di-Pertua.
Sebelum mengundur diri saya terpanggil lah untuk menjawab pantun Yang Berhormat Timbalan Menteri tadi.
Tidak elok bersifat degil, Terutama di hari raya; PMX tidak bakhil, MA63 dia laksana. Dengan itu, saya mohon menyokong pindaan kepada RUU, kepada Akta Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua
Terima kasih YB.
Sekarang ini saya jemput Yang Berhormat Senator Puan Susan Chemerai Anding untuk berbahas.
Puan Susan Chemerai Anding
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua kerana memberi peluang kepada saya membahaskan RUU ini. Untuk sekian lama iaitu sejak penubuhan Malaysia pada tahun 1963, Sabah dan Sarawak tidak ada wakil di dalam LHDN. Ini berlaku walaupun keperluan ini secara terperinci ada disebutkan sebagai salah satu perkara yang termaktub dalam perenggan 24 ICG Report. IGC Report ini adalah satu- dokumen sokongan yang penting kepada MA63 dan binding, dengan izin.
Dengan erti kata lain mempunyai seorang wakil di LHDN dianggap perkara penting sebagai melindungi hak Sabah dan Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963.
Oleh itu, dengan adanya wakil Sabah dan Sarawak sebagai anggota Lembaga Hasil ini sudah pasti akan memastikan isu-isu percukaian yang berkaitan dengan kedua-dua negeri dapat ditangani dan disampaikan dengan sewajarnya. Ini juga sememangnya akan menggalakkan pengurusan percukaian yang objektif dan bebas.
Selain itu, sudah pasti ini selari dengan usaha kerajaan untuk mengadaptasikan amalan tadbir urus terbaik global seperti ditetapkan oleh Kod Tadbir Urus Korporat Malaysia 2021. Dengan itu ucapan berbanyak-banyak terima kasih kita harus- ditujukan kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri kita kerana memenuhi satu lagi aspirasi di bawah MA63. Satu tindakan yang sangat dihargai dan dialu-alukan oleh rakyat Sabah dan Sarawak.
Mungkin ia nya nampak sebagai satu tuntutan yang sekadar administrative, dengan izin ataupun pentadbiran, tetapi sebenarnya ia nya satu perkara yang sangat bermakna dan penting untuk pentadbiran kewangan Sabah dan Sarawak. Dengan itu, sekali lagi saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri kerana membolehkan RUU ini sampai ke Dewan ini dan dibahaskan dengan harapan ia nya diluluskan sebab RUU ini long overdue, dengan izin.
Puan Susan Chemerai Anding
Saya juga ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada rakan-rakan Senator Semenanjung Malaysia yang turut berbahas dan menyokong RUU ini. Ini testimoni, dengan izin bahawa mereka turut menyokong MA63. Dengan itu, saya mohon menyokong. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua
Terima kasih, Yang Berhormat.
Sekarang saya jemput Yang Berhormat Senator Dato’ Ahmad bin Dato’ Sri Haji Ibrahim untuk berbahas.
Dato’ Ahmad bin Dato’ Sri Haji Ibrahim
Terima kasih, Yang Berhormat Timbalan YDP Dewan Negara. Bismillahi Rahmani Rahim. Salam Malaysia Madani, segulai sejalai.
Secara dasarnya, saya menyokong RUU LHDN (Pindaan) 2023 ini sejajar dengan komitmen Kerajaan Persekutuan dalam melaksanakan MA63 kerana ini ialah manifestasi Kerajaan Persekutuan untuk menyelaraskan dan mengembalikan hak yang sedia ada pada Sarawak dan Sabah. Ini adalah paling penting dan mustahak untuk kami.
Dengan adanya perwakilan tetap dari Sarawak dan Sabah, diperkukuhkan lagi dengan pindaan ini melalui kuat kuasa undang-undang sebagaimana yang termaktub dalam RUU ini. Pindaan ini sejajar dengan tuntutan yang termaktub dalam Inter- Governmental Committee Report 1962 di mana diperuntukkan berhubung percukaian seperti terkandung dalam 24(1) Financial Provision dalam IGC Report, dengan izin.
Keanggotaan wakil dari negeri Sarawak dan Sabah dalam Malaysian Board of Income Tax telah dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan. Pelaksanaan pada ketika ini adalah berdasarkan apa yang diperuntukkan dalam undang-undang melalui Perintah 1964 yang berlandaskan income tax. Satu, Income Tax Ordinance 1947 of The States of Malaya, Income Tax Ordinance 1956 of Sabah serta Inland Revenue Ordinance 1960 of Sarawak.
Walau bagaimanapun, perkara dan peruntukan mengenai keanggotaan wakil negeri Sarawak dan Sabah ini terhenti seketika apabila Malaysian Board of Income Tax dan ketiga-tiga undang-undang ini berkaitan dimansuhkan setelah semua perkara berkaitan cukai pendapatan dikawal selia oleh Jabatan Hasil Dalam Negeri Malaysia pada tahun 1967.
Fungsi ini kemudiannya diambil alih oleh LHDNM yang telah ditubuhkan pada tahun 1996 di bawah Akta 533. Kita anggap sahaja perkara sebelum ini tertangguh sementara. Alhamdulillah, dan seharusnya tidak akan berlaku lagi di dalam kita membuka lembaran baru untuk memenuhi semangat dan aspirasi MA63. Biarlah kita terus tergerak seiring tanpa ada rasa ragu-ragu lagi kerana konsep persekutuan inilah yang akan memacu kemajuan negara Malaysia.
Datuk Yang di-Pertua, kita perlu jadikan pindaan ini satu usaha untuk menjadi LHDN sebagai satu buah badan yang berwibawa dan telus. Wakil Sarawak dan Sabah akan mengukuhkan lagi kewibawaan LHDN sebagai agen kerajaan dalam perkhidmatan percukaian berkelas dunia, Insya-Allah. Wakil Sarawak dan Sabah akan menjadi semak dan imbang kepada LHDN supaya ada keseimbangan dalam menentukan hala tuju, selain meletakkan perkara asas seperti penentuan formula, kadar geran pemberian khas pada Sarawak melalui Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan.
Mengenai pindaan Seksyen 28 pula, saya menyambut baik pindaan ini apatah lagi melibatkan institusi kewangan Islam. Ia nya membolehkan LHDN melanjutkan pelaburan di institusi kewangan Islam, pembangunan dan koperasi seterusnya memperkukuhkan kedudukan LHDN.
Akhir kata, saya berharap dengan pindaan ini akan menjadi satu pemangkin dan anjakan paradigma dalam menjadikan Perlembagaan Persekutuan sebagai satu wadah dan semangat MA63 sebagai aspirasi persekutuan. Dengan ini, saya menyokong pindaan ini. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua
Terima kasih Yang Berhormat.
Sekarang saya mempersilakan Yang Berhormat Senator Dato Dr. Nuing anak Jeluing untuk berbahas.
Dato Dr. Nuing Jeluing
Dato' Sri Timbalan Yang di-Pertua, terima kasih atas peluang untuk membahaskan RUU Akta Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (Pindaan) 2023. Saya mengalu-alukan akta ini sebab peruntukan untuk wakil dari Sarawak dan Sabah menjadi Ahli Lembaga Hasil Dalam Negeri termaktub dalam laporan IGC atau Inter- Governmental Committee Report waktu pembentukan Malaysia 1963.
Kita juga bertanya mengapa peruntukan ini tidak dilaksanakan sampai sekarang iaitu 60 tahun terlambat. Justeru itu, saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dan Kerajaan Perpaduan Madani yang telah merealisasikan peruntukan ini.
Amat tepat yang dilantik oleh Menteri selepas berunding dengan Premier Sarawak dan Ketua Menteri Sabah untuk Sabah. Ini akan menentukan wakil itu adalah betul-betul mewakili kerajaan negeri. Tepat juga wakil dilantik, orang yang berkedudukan dan berpengalaman. Kehendak ini menjamin wakil itu layak memikul tanggungjawab jawatan itu.
Daripada segi kerajaan negeri, pelantikan wakil negeri sebagai Ahli Lembaga Hasil Dalam Negeri akan menentukan kerajaan negeri tahu maklumat hasil dalam negeri yang terperinci dan akan memudahkan perancangan pembangunan negeri. Misalnya, setakat sekarang, pendapatan dari minyak dan gas pengeluaran PETRONAS tidak diketahui oleh kerajaan negeri dengan tepat. Juga, sama juga dengan pemulihan cukai- cukai yang lain dari negeri.
Berkenaan dengan pindaan seksyen 9 yang memerlukan rundingan dengan Premier Sarawak sebelum membatalkan pelantikan ahli, pindaan ini menentukan pandangan pihak kerajaan negeri diambil kira bila pelantikan dibuat.
Seperti yang telah diperkatakan Senator yang telah bercakap dahulu tadi, biar lambat asal dibuat atau better late than never. Sekian, saya mohon menyokong.
Timbalan Yang di-Pertua
Terima kasih, Yang Berhormat.
Sekarang saya jemput Yang Berhormat Senator Datuk Paul Igai untuk berbahas.
Datuk Paul Igai
Terima kasih, Dato' Sri Yang di-Pertua kerana memberi peluang kepada saya untuk membahaskan akta- untuk meminda Akta Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia 1995, khususnya dalam prosedur pemilihan anggota mewakili Sabah dan Sarawak. Ini jelas selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963.
Tenang rasanya kita di Sarawak, khususnya dengan keputusan dan sefahaman daripada pihak Ahli Dewan Rakyat yang sudah menerima dan meluluskan RUU ini.
Datuk Paul Igai
Terima kasih kepada Ahli-ahli Senator kita. Saya rasa ragu dan tenang mendengar keseluruhan Ahli Senator kita di sini menyokong RUU ini. Terima kasih besar lagi juga kepada kerajaan terutamanya kepada kebijaksanaan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Sesudah kelulusan RUU ini, akan serahnya secara pemilihan ahli anggota mewakili Sarawak kepada bijaksana pihak kerajaan Sarawak sendiri.
Datuk Sri Yang di-Pertua, tetapi satu saya akan merujuk ialah pindaan tentang fasal dua untuk meminda seksyen 6 [Akta 533] yang mengatakan peruntukan bahawa orang yang akan mewakili Sabah dan Sarawak hendaklah daripada kalangan orang yang kedudukan dan berpengalaman dalam perkara kewangan komersial, percukaian atau undang-undang.
Datuk Sri Yang di-Pertua, ini akan pada saya lah akan memaksudkan atau diinterpretasikan bahawa pindaan ini akan hanya memberi keistimewaan kepada golongan peguam yang tidak semestinya mengira pengalaman peguam itu.
Sedemikian, saya mohon penjelasan daripada Menteri sekiranya cadangan untuk menukarkan perkataan “atau” itu dengan perkataan “dan” sahaja.
Datuk Sri Yang di-Pertua, yang pentingnya dan sangat menggembirakan kita ialah mengiktiraf dan persefahaman semua Ahli Parlimen keputusan dalam Perjanjian MA63.
Besar harapan kita juga selesaikan perkara-perkara lain dalam Perjanjian MA63 tadi.
Sekali lagi saya ucapkan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dan kerajaan kerana sudi mencadangkan RUU itu meminda Akta Hasil Dalam Negeri Malaysia 1995. Datuk Sri Yang di-Pertua, saya mohon menyokong.
Timbalan Yang di-Pertua
Terima kasih Yang Berhormat. Saya rasa pandangan Yang Berhormat tadi tepat. Jangan semua peguam sahaja. Akauntan macam saya pun boleh jadi...
[Ketawa] Terima kasih YB.
Sekarang ini saya jemput YB Datuk John Ambrose untuk berbahas.
Datuk John Ambrose
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua atas peluang untuk saya berbahas dalam Rang Undang-undang Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN)
(Pindaan) 2023.
Saya menyokong RUU (LHDN) (Pindaan) 2023 ini sejajar dengan komitmen Kerajaan Persekutuan dalam isu-isu yang berbangkit tentang pelaksanaan MA63.
Sesungguhnya pelantikan secara pentadbiran perwakilan Kerajaan Negeri Sabah dan Kerajaan Negeri Sarawak atas lantikan Menteri Kewangan Malaysia sebagai Anggota Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) yang dilaksanakan sejak tahun 2022 hingga kini akan diperkukuhkan dengan pelantikan keanggotaan tetap melalui kuat kuasa undang-undang sebagaimana termaktub dalam RUU ini.
Pindaan ini dicadangkan- ini juga merupakan susulan kepada syor Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) yang telah bermesyuarat pada 19 Januari 2023 di Kuching Sarawak. Mesyuarat MTPMA63 tersebut telah dipengerusikan oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia dan turut dihadiri oleh Yang Amat Berhormat Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji bin Noor dan Yang Amat Berhormat Datuk Sri Abang Jo Tun Openg, Premier Sarawak. Syabas dan tahniah.
Sepuluh orang Perwakilan Tetap Kerajaan Negeri Sabah dan Kerajaan Negeri Sarawak dilantik sebagai anggota Lembaga LHDNM telah dibangkitkan kali pertama dalam platform rasmi perundingan pelaksanaan MA63 oleh Kerajaan Negeri Sabah di bawah kepimpinan Ketua Menteri Sabah dan Premier Sarawak.
Yang Amat Berhormat, mesyuarat ini telah dibangkitkan atas dasar asas untuk mengembalikan kedudukan asal mewujudkan perwakilan kedua-dua negeri ini dalam institusi tersebut sejak penubuhan persatuan Malaysia pada tahun 1963. Adalah diharapkan Ahli-ahli Yang Berhormat Senator memahami bahawa pelantikan ini iaitu mengembalikan amalan asal yang terkandung dalam undang-undang.
Tuntutan ini juga sejajar dengan peruntukan perhubungan pengecualian seperti terkandung dalam sub (24)(1) Financial Provisions, Inter-Governmental Committee (IGC) Report pada tahun 1962. Keanggotaan wakil dari negeri Sabah dan Sarawak dalam Malaysian Board of Income Tax telah dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan pada ketika itu.
Pelaksanaan pada ketika itu adalah berdasarkan peruntukan dalam undang- undang menurut Perintah 1964 yang menjelaskan Income Tax Ordinance, 1947 of the State of Malaya dan Income Tax Of Ordinance 1956, sub of Sabah serta Inland Revenue Ordinance, 1960 of Sarawak. Walau bagaimanapun, peruntukan mengenai keanggotaan wakil negeri Sabah dan Sarawak ini terhenti apabila Malaysian Board of Income Tax dan ketiga-tiga undang- undang berkaitan dimasukkan setelah semua perkara berkaitan cukai pendapatan dikawal selia oleh Jabatan Hasil Dalam Negeri Malaysia pada tahun 1967.
Fungsi ini kemudian diteruskan oleh LHDN yang telah ditubuhkan pada tahun 1996 di bawah Akta 533. Pindaan Akta 533 ini memperuntukkan keanggotaan tetap wakil Kerajaan Negeri Sabah dan Kerajaan Negeri Sarawak menzahirkan komitmen Kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri untuk melaksanakan isu-isu tertangguh berkait dengan MA63 sekali gus mendapati serta mengiktiraf kepentingan Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan Malaysia.
Adalah diharapkan kelulusan Akta LHDN (Pindaan) ini akan membantu proses perundingan Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan berhubung semakan kadar pemberian khas di bawah Perkara 112(d) Perlembagaan Persekutuan. Apa juga kedudukan kewangan Kerajaan Persekutuan, yang kita mahu iaitu pengiktirafan bahawa pengguna asas kadar pemberian khas untuk Sabah di bawah Perkara 112(c) Perlembagaan Persekutuan itu adalah terus relevan.
Kita mahu peruntukan perlembagaan berhubung entitlement Sabah pada 40 peratus daripada hasil yang dikutip dari negeri atas asas menjadi panduan pada setiap semakan. Saya yakin kehadiran keanggotaan Kerajaan Negeri dalam Lembaga Hasil Dalam Negeri adalah wahana untuk mencapai hasrat di Sabah...
Timbalan Yang di-Pertua
YB, panjang lagi?
Datuk John Ambrose
Sedikit lagi.
Kita berharap peruntukan perlembagaan berhubung entitlement Sabah pada 40 peratus daripada hasil itu dikutip dan boleh terus menjadi asas panduan pada semakan dengan anggota wilayah Sabah dan Sarawak sebagai Ahli Lembaga LHDN sesungguhnya adalah untuk mencapai hasrat kedua-dua negeri itu mendapat pembelaan sewajarnya termaktub dalam.
Saya ucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri atas keprihatinan beliau terus menerus pada Sabah dan Sarawak dan tahniah juga ke atas komitmen kepada semua Senator dari Semenanjung atas penyertaan dalam membahaskan RUU LHDN ini. Tuan Yang di-Pertua, saya menyokong. Sekian, terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua
Terima kasih YB.
Sekarang saya menjemput YB Senator Datuk Noraini binti Idris untuk berbahas.
Datuk Judiet binti Fidilis @ Noraini binti Idris
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua atas peluang dan ruang yang diberikan kepada saya untuk bersama-sama membahaskan RUU Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia
(Pindaan) 2023.
Tahniah dan syabas saya ucapkan kepada kementerian kerana dengan berbesar hati turut mengambil kira pandangan dan ulasan Jabatan Peguam Besar Negeri Sabah dan Jabatan Peguam Besar Negeri Sarawak berkaitan Rang Undang-undang Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia ini. Sifat keterbukaan untuk sama-sama mendapatkan pandangan dari blok Borneo amatlah kami hargai. Malahan, matlamat ini adalah bertujuan bagi memenuhi aspirasi Perjanjian Malaysia 1963.
Perjanjian Malaysia 1963 ini di mana wakil Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak dalam keanggotaan Lembaga Hasil Dalam Negeri seperti yang dibangkitkan dalam Mesyuarat Khas Perjanjian Malaysia 1963. Sebelum pindaan ini, Menteri Kewangan mempunyai kuasa penuh untuk melantik sesiapa sahaja yang difikirkan sesuai, tetapi dengan pindaan ini, kuasa Menteri Kewangan di hadkan. Di mana Menteri Kewangan kena terlebih dahulu merujuk dan mendapatkan pandangan daripada Ketua Menteri Sabah untuk negeri Sabah dan Premier Sarawak untuk negeri Sarawak dalam melantik dua orang ahli lembaga dalam Lembaga Hasil Dalam Negeri, khususnya yang akan mewakili Sabah dan Sarawak dalam ahli lembaga ini.
Sudah tentu pelantikan dua orang wakil ini adalah penting dan wajar agar wakil Sabah dan Sarawak dapat menerima maklumat yang jelas dan seterusnya dapat menerangkan maklumat mengenai kutipan hasil yang diperoleh oleh Kerajaan Persekutuan yang dikutip daripada kedua-dua buah negeri ini khususnya kutipan cukai langsung iaitu cukai pendapatan individu, duti setem, cukai ke atas keuntungan hartanah, cukai yang dikutip daripada perbadanan, perkongsian dan juga syarikat-syarikat di kedua- dua negeri ini yang dibayar kepada Kerajaan Persekutuan setiap tahun dan wakil ini dapat melaporkan dengan lebih terperinci kepada Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak.
Ini adalah penting agar satu pengiraan yang adil dan sesuai dalam mengagihkan hasil kutipan cukai tersebut untuk digunakan, terutama dalam memajukan aspek pembangunan prasarana di kedua-dua negeri ini yang masih jauh ke belakang berbanding di negeri-negeri di Semenanjung. Sudah tentu kuasa melantik diiringi dengan kuasa membatalkan pelantikan, tetapi kuasa membatalkan pelantikan tersebut juga hendaklah digunakan setelah merujuk dan berunding terlebih dahulu dengan Ketua Menteri Sabah dan Premier Sarawak.
Selain itu, pindaan yang dicadangkan ini juga memenuhi konsep akauntabiliti di mana wakil dari Sabah dan Sarawak hendaklah dilantik di kalangan orang yang berkedudukan dan berpengalaman dalam perkara kewangan, komersial, percukaian dan undang-undang yang sudah tentu boleh memberikan pandangan dan menasihatkan daripada segi aspek kewangan untuk penambahbaikan kutipan hasil negara untuk Kerajaan Persekutuan mahupun negeri Sabah dan Sarawak.
Mengenai pindaan perluasan kuasa pelaburan Lembaga Hasil Dalam Negeri di sini, saya ingin mengambil peluang untuk bertanyakan tentang apakah pelan jangka masa pendek dan jangka masa panjang Lembaga Hasil Dalam Negeri agar terus kekal relevan dalam menjalankan aktiviti pelaburan dalam meningkatkan pendapatan negara seiring dengan perkembangan pelaburan yang ditawarkan di pasaran.
Apakah sasaran yang telah diletakkan oleh LHDN bagi memperoleh keuntungan yang optimum? Malahan, bagaimana pula agihan cukai yang lebih progresif bersifat mengikut keperluan yang tinggi, terutamanya di kawasan luar bandar yang memerlukan lebih banyak dana bagi memenuhi keperluan asas rakyat. Adakah kementerian mempunyai pelan yang lebih bersasar dan mengutamakan kawasan luar bandar yang jauh ketinggalan dalam aspek pemodenan masa kini?
Sudah tentu besar harapan kami agar agihan pendapatan yang lebih diberikan kepada kawasan yang memerlukan untuk diberi keutamaan. Ini adalah bagi memastikan kesejahteraan dan bekalan asas utama rakyat yang dipastikan memenuhi keperluan harian, bukannya hanya memenuhi aspek pemodenan semata-mata. Itu sahaja daripada saya, Tuan Yang di-Pertua. Dengan ini, saya mohon menyokong. Sekian, terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua
Terima kasih YB dan saya jemput pembahas terakhir kita pada hari ini iaitu YB Datuk Bobbey Ah Fang Bin Suan untuk berbahas.
Datuk Bobbey Ah Fang Bin Suan
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua saya ucapkan atas peluang diberikan kepada saya untuk sebagai pembahas yang terakhir pada petang ini, khusus Rang Undang-undang Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia
(Pindaan) 2023 kali ini. Apatah lagi usul perbahasan ini turut melibatkan kepentingan wilayah kami di Malaysia Timur, khususnya Wilayah Sabah dan Sarawak.
Pada asasnya, saya dengan penuh rendah hati memuji usaha usul ini dibentangkan kerana ia akan memberi ruang yang lebih besar kepada wakil dari Sabah dan Sarawak terlibat sama dalam tadbir urus melibatkan kewangan dan penghasilan negara. Secara peribadi, rang undang-undang ini wajar disokong kerana sudah berpuluh- puluh tahun para pemimpin dan rakyat Sabah sering tertanya-tanya jumlah sebenar pendapatan dari wilayah kami yang telah berjaya dikutip dan jika wakil setiap wilayah turut ada sebagai anggota Lembaga Hasil Dalam Negeri, kita akan dapat mengetahui secara terperinci jumlah hasil tersebut. Seterusnya, memudahkan permintaan yang wajar untuk berapa jumlah hasil yang harus dikembalikan bagi merangsang pembangunan di wilayah masing-masing.
Dalam upaya ini juga, kita senada dengan Kementerian Kewangan, di mana usaha ini juga untuk memastikan keanggotaan Lembaga LHDN seimbang dengan tadbir urus korporat terbaik yang menerapkan nilai semak dan imbang, selaras dengan amalan terbaik di peringkat global.
Oleh yang demikian, saya berharap di masa akan datang keanggotaan bagi wakil Sabah dan Sarawak ini mungkin bolehlah ditambah agar suara dalam menentukan hala tuju yang lebih adil di antara wilayah dapat direalisasikan. RUU ini juga dapat memastikan LHDN selaku badan berkanun berstatus diasingkan persaraan dan dibebaskan sepenuhnya dapat memaksimumkan pendapatannya bagi menampung sebahagian perbelanjaan tahunan iaitu kos operasi dan modal yang semakin meningkat. Ini penting terutama bagi pihak- bagi kita melihat LHDN kekal relevan dalam menjalankan aktiviti pelaburan, seiring dengan perkembangan pelaburan yang ditawarkan di pasaran.
Wilayah Sabah dan Sarawak seperti kita tahu memerlukan pelaburan yang banyak bagi merangsang ekonomi. Justeru, dengan adanya perkembangan ini, peluang LHDN membawa pelaburan ke wilayah kami juga akan lebih tinggi.
Tuan Yang di-Pertua, akhir kata, saya sekali lagi mengucapkan jutaan terima kasih dan tahniah kepada usaha pindaan RUU ini dibuat. Saya berharap agar Dewan ini sepakat untuk meluluskan usul ini demi memastikan capaian pembangunan dapat dilaksanakan. Tuan Yang di-Pertua, saya mohon menyokong. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua
Terima kasih YB.
Sekarang ini saya menjemput Yang Berhormat Menteri untuk menjawab.
Timbalan Menteri Kewangan - Datuk Seri Haji Ahmad bin Haji Maslan
Terima kasih pada semua Yang Berhormat Senator yang telah menyatakan pandangan dan terima kasih kepada semua Yang Berhormat Senator yang menyokong rang undang- undang ini.
Timbalan Menteri Kewangan - Datuk Seri Haji Ahmad bin Haji Maslan
Bermula pada Senator Dato’ Kesavadas; Senator Dato’ Arman Azha; Senator Dr.
Hajah Wan Martina; Senator Prof. Datuk Seri Dr. Awang bin Sariyan; Senator Tuan Abun Sui Anyit, Senator Dato’ Juhanis; Senator Puan Rita Sarimah; Senator Puan Susan; Senator Dato’ Ahmad Ibrahim; Senator Dato Dr. Nuing; Senator Dato’ Paul Igai; Senator Datuk John Ambrose; Senator Datuk Noraini binti Idris; dan Senator Datuk Bobbey Suan.
Datuk Timbalan Yang di-Pertua, kita memang sebenarnya merujuk kepada pihak Sabah dan Sarawak. Mula-mula apabila saya membentangkan rang undang-undang ini di Dewan Rakyat, tidak ada perkataan, “Berunding dengan Ketua Menteri Sabah” dan tidak ada perkataan, “Berunding dengan Primer Sarawak” bagi kita melantik ahli lembaga untuk Sabah dan Sarawak. Begitu juga apabila, pada mulanya, kita juga tidak meletakkan rujukan itu apabila kita ingin memberhentikan mana-mana ahli lembaga.
Walaupun demikian, dalam pembentangan di Dewan Rakyat itu, pihak dari Sabah dan Sarawak, Ahli-ahli Parlimennya, membuat pandangan supaya dirujuk kepada Jawatankuasa Khas Kewangan dan juga Jawatankuasa Khas Kewangan dan Ekonomi yang dipengerusikan oleh Ahli Parlimen Paya Besar. Saya telah membuat keputusan ketika itu supaya kita memberhentikan dan tidak meminta kelulusan dan akan dibentangkan semula setelah dihalusi.
Saya dan pihak Kementerian Kewangan, Lembaga Hasil bertemu dengan Jawatankuasa Pilihan Khas Kewangan dan Ekonomi yang dipengerusikan oleh Paya Besar dan memanggil beberapa Ahli Parlimen yang lain untuk membuat pindaan terhadap rang undang-undang yang kita telah bentangkan. Selepas itu, dibawa semula ke Kabinet dan setelah dibawa ke Kabinet, barulah kita bentangkan semula baru-baru ini, diterima baik oleh Ahli-ahli Parlimen kerana kita menerima usul mereka supaya ada perkataan, “Berunding dengan Ketua Menteri Sabah” dan “Berunding dengan Primer Sarawak”.
Jadi, itu secara keseluruhan apa yang telah berlaku mengenai Rang Undang- undang Lembaga Hasil Dalam Negeri (Pindaan) ini.
Ingin saya nyatakan di sini bahawa- sebagaimana Yang Berhormat Senator Dato’ Kesavadas bertanyakan latar belakang- jadi, latar belakang ini, kesemua anggota yang dilantik itu hendaklah bebas daripada sebarang kesalahan rasuah, sabitan kes mahkamah, tidak bankrap, melalui proses semakan dengan SPRM, Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan dan Jabatan Insolvensi. Orang yang dilantik itu mestilah berpengalaman dalam perkara kewangan, komersial, percukaian atau undang- undang.
Penglibatan anggota lembaga dari Sabah dan Sarawak ini diharapkan dapat membantu Lembaga Hasil dalam membuat pengagihan hasil yang bersesuaian dan lebih berkesan. Bagi tujuan kemajuan Sabah, Sarawak, kerajaan telah mengumumkan, melalui ucapan Belanjawan Madani 2024, memberikan peruntukan Persekutuan untuk pembangunan Sabah, Sarawak. Sarawak, RM5.8 bilion. Sabah, RM6.6 bilion. Kita juga menambah pemberian khas RM300 juta untuk Sarawak, RM300 juta Sabah.
Seterusnya. Sebenarnya, Yang Berhormat Senator Prof. Dr. Awang bin Sariyan, kita pada saat dan ketika ini sudah ada pun wakil dari Sabah dan Sarawak. Walaupun demikian, wakil itu kita lantik sebelum rang undang-undang ini diluluskan.
Saya ingin memaklumkan di sini bahawa pada saat dan ketika ini, wakil dari Sarawak ialah Dato Sri Dr. Wan Lizozman bin Wan Omar, Setiausaha Kewangan Negeri Sarawak, wakil kerajaan negeri Sarawak dan Datuk Petrus Gimbad, konsultan swasta, wakil Kerajaan Negeri Sabah.
Kita telah melantik sebelum rang undang-undang ini lulus. Jadi, selepas ini, siapa juga yang akan dilantik, hendaklah kita rujuk kepada Ketua Menteri Sabah dan Primer Sarawak. Yang ini memerlukan konsultasi.
Ahli-ahli Yang Berhormat banyak merujuk kepada Financial Provision Report of Inter-Governmental Committee (IGC) Report yang mengatakan bahawa tahap percukaian Persekutuan di negeri Borneo harus dibawa ke peringkat Persekutuan Tanah Melayu secara berperingkat. Ini IGC Report 1963. Keperluan mengadakan perundingan ad hoc dengan pegawai-pegawai kanan yang berkenaan di negeri-negeri Borneo mengenai perubahan cukai dan negeri-negeri Borneo hendaklah masing-masing diwakili dalam Lembaga Cukai Pendapatan Malaysia. Ini banyak disebut oleh Ahli-ahli Yang Berhormat yang mengambil bahagian dalam perbahasan pada hari ini.
Dalam bahasa Inggeris, financial provision, perkara 24(1) IGC Report 1963 itu menyebut, dengan izin, “There should be ad-hoc consultation with the senior officials concerned in the Borneo States regarding tax changes and in addition, the Borneo States should be each represented on a Malaysian Board of Income Tax.” Ini IGC Report 1963.
Jadi, kita menuruti apa yang telah dipersetujukan itu.
Kemudian- siapa lagi yang membangkitkan perkara secara spesifik? Dr. Hajah Wan Martina- apakah usaha kerajaan untuk meningkatkan hasil cukai? Kita ada pelbagai kaedah. Antaranya, MyTax, e-Filing, e-CKHT, e-CP22. Pelaksanaan mandatori menggunakan e-perkhidmatan secara berperingkat, salah satu hasil, dan kita menerapkan elemen apa yang dipanggil sebagai AES. Kesedaran, pendidikan dan perkhidmatan. Awareness, education and services. Kita sentiasa berusaha meningkatkan pematuhan cukai dan kita juga mengadakan e-Invoice bagi menyokong pertumbuhan ekonomi digital dalam usaha untuk meningkatkan kecekapan pungutan hasil.
Senator Dato’ Juhanis menyebut tentang perkara dipersetujui selepas berunding.
Ya, betul, rundingan Ketua Menteri dan Primer Sarawak akan melalui due process yang menyeluruh dan sewajarnya sebelum Menteri membuat sebarang keputusan. Kita bukan tidak berunding, tetapi berunding sehingga mendapatkan keputusan.
Senator Dato’ Juhanis juga menyebut pendapatan pelaburan digunakan untuk tujuan apa. Maka dinyatakan di sini, bahawa untuk sumber dalaman bagi menampung sebahagian perbelanjaan operasi modal Lembaga Hasil Dalam Negeri.
Saya ingin menyatakan di sini bahawa yang kita laburkan itu bukan kutipan tahunan itu. RM175 bilion pada tahun sudah itu bukan RM175 bilion itu yang dilaburkan.
RM175 bilion itu kita masukkan dalam wang yang terkumpul untuk kegunaan Kementerian Kewangan dan Perbendaharaan, tetapi yang kita pohon pada hari ini, keputusan, ialah untuk melaburkan jumlah fi daripada RM175 bilion itu. Sebagai contoh, pada tahun sudah, finya ialah 1.85 persen daripada RM175 bilion.
Jadi jumlahnya lebih kurang RM3.431 bilion. RM3.431 bilion itu digunakan untuk membayar gaji staf Lembaga Hasil. Baki daripada itu, sejumlah yang tidaklah banyak, yang itu kita pohonkan supaya bukan hanya kita boleh laburkan di bank komersial, tapi juga kita boleh labur di bank Islam dan juga bank yang melibatkan koperasi. Itu tujuan kita mendapatkan permohonan pada hari ini supaya rang undang-undang ini diluluskan atas tujuan perkara itu.
Kemudian, Senator Dato’ Paul Igai menyebut perkataan “atau” dalam fasal 2, seksyen 6 berhubung pelantikan orang yang berkedudukan dan berpengalaman bagi salah satu daripada perkara berkaitan kewangan, komersial, percukaian, undang-undang atau gabungan daripada mana-mana perkara tersebut. Ini yang kita sebenarnya maksud perkataan itu. Perkataan “atau” itu penting supaya tidak terhad kepada peguam sahaja. Ia juga boleh tentunya seorang akauntan, macam Timbalan Datuk Yang di-Pertua. Tentunya boleh. Ini memang kita ambil perhatian perkara yang disebutkan itu.
Ada Senator yang menyatakan, beberapa hasil dari Sabah dan Sarawak. Ada beberapa orang yang bertanyakan itu. Contohnya, Senator Datuk John Ambrose dan juga Senator Datuk Noraini Idris.
Kutipan ini berjumlah sehingga- contoh, tahun 2022, kutipan keseluruhan RM175 bilion, saya sebut tadi. Belanja untuk Sabah dan Sarawak, peruntukan DE dan pemberian untuk Sabah dan Sarawak- Sabah, RM5.1 bilion pada tahun sudah, DE, Sarawak, RM4.6 bilion.
Timbalan Menteri Kewangan - Datuk Seri Haji Ahmad bin Haji Maslan
Pemberian pula, Sabah RM1.1 bilion, Sarawak RM1. 2 bilion. Berapa kutipan ya?
Beberapa kutipan dari Sabah dan Sarawak. Itu yang kita berikan. Kita berikan RM5 bilion, RM4 bilion untuk DE, untuk pemberian RM1.1 bilion, RM1.2 bilion. Berapa kutipan hasil dari Sabah dan Sarawak sehingga 31 Oktober 2023 ini? Kutipan Sabah RM6.3 bilion, Sarawak RM5.8 bilion ya.
Untuk tahun hadapan, bagi pembangunan Sabah kita bagi RM6.6 bilion dan Sarawak kita beri RM5.8 bilion, itu untuk tahun hadapan. Jadi, kalau kita lihat sehingga 31 Oktober kutipan Sabah RM6.3. Kita bagi pada Sabah tahun depan RM6.6. Sarawak RM5.8, kemudian tahun depan kita akan beri RM5.8. Jadi dengan lain perkataan bukan 40 peratus yang kita beri, lebih daripada 100 peratus kita beri balik pada Sabah dan Sarawak, itu perkara pertama, perkara utama yang ingin saya sampaikan pada Ahli-ahli Yang Berhormat.
Seterusnya, apa lagi yang ingin saya jawab sini. Dato’ Kesavadas, saya dah menyebut tadi penelitian serius untuk geran khas Sabah dan Sarawak saya dah sebut.
Kita naikkan geran itu RM300 juta, Sarawak RM300 juta, Sabah, geran khas.
Dato’ Dr. Arman Azha, ini adalah penting untuk hak wilayah. Memanglah kita memperakui mengenai hak wilayah, itu sebab kita lakukan perubahan dan juga pindaan terhadap rang undang-undang ini dan jumlah yang saya sesuai baharu saya sebut tadi, jumlah yang sesuai untuk Sabah dan Sarawak, kita telah memberi lebih daripada yang kita kutip. Dr. Hajah Wan Martina okey, betul. Itu untuk merapatkan kemiskinan dan saya telah menyatakan tadi bagaimana cara untuk mengutip cukai dengan lebih, daripada segi pendidikan juga kita adakan.
Senator Datuk Seri Prof. Dr. Awang bin Sariyan sebelum ini tidak dibuat. Saya dah jawab bahawa pada saat dan ketika ini memang ada wakil Sabah dan Sarawak, tetapi sebelum-sebelum itu tidak ada wakil secara khusus dan sebelum CEO yang ada sekarang, kita pernah ada CEO, bukan hanya ahli Lembaga, CEO LHDN itu memang anak negeri Sabah ya, CEO Datuk Sabin ya, itu bukan hanya Ahli Lembaga, CEO.
Walau bagaimanapun, kita khuatir pada tahun-tahun yang mendatang tidak ada wakil, itu sebab kita letakkan dalam rang undang-undang ini.
Senator Tuan Abun, betul, kita prihatin kepada MA63. Beliau menyatakan tidak teraba-raba dalam gelap, keadilan dan mengenai prasarana. Saya telah nyatakan nilai pembangunan untuk tahun ini dan tahun hadapan yang kita berikan pada Sabah dan Sarawak.
IGC Report, perkara 24, Senator Puan Rita Sarimah. Saya dah bacakan tadi IGC nya. Senator Puan Susan, terima kasih pada PMX. Boleh katakan semua mengucapkan terima kasih. Saya akan sampaikan pada PMX bahawa perkara lama yang tertangguh ini telah kita laksanakan ya dan memang Senator daripada Semenanjung juga menyokong rang undang-undang ini.
Senator Dato’ Ahmad bin Dato’ Sri Haji Ibrahim, ia merupakan pemangkin anjakan dan aspirasi Persekutuan yang kita sedang lakukan. Senator Dato Dr. Nuing, sekali lagi bukan tak dilaksanakan, tetapi tidak dimaktubkan dalam rang undang-undang ya. Kita ada melaksana, tetapi tidak memaktubkan. Inilah kali pertama kita memaktubkan dalam bentuk akta.
Kemudian Senator Datuk Paul Igai. Saya dah jawab juga. Senator Datuk John Ambrose, 40 peratus hasil negeri. Sebenarnya kita memberikan lebih daripada itu dan Senator Datuk Noraini Idris, saya ceritakan tadi bahawa sebelum ini tidak ada perkataan “setelah berunding” untuk melantik dan setelah berunding juga jika kita ingin membatalkan pelantikan, tapi dalam yang kita pinda ini, kita masukkan perkataan “setelah berunding” apabila kita mendapat maklumat daripada Ahli-ahli Parlimen Sabah, Sarawak supaya tidak diluluskan dan ditangguhkan kelulusan maka saya membuat keputusan pada ketika itu untuk menangguhkan dan kita tidak bulldoze. Kita tidak bulldoze, kita tarik balik, lepas itu kita runding semula dan kita menghormati pandangan daripada Ahli-ahli Parlimen di Sabah dan dari Sarawak.
Itu sahaja Timbalan Speaker, Tuan Yang di-Pertua. Saya telah menjawab hampir semua perkara yang dibangkitkan. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua
Terima kasih. Tak ada pantun akhir kah?...
[Ketawa] Terima kasih Yang Berhormat Menteri.
Ahli-ahli Yang Berhormat, sekarang saya kemukakan masalah kepada Majlis bagi diputuskan. Masalahnya ialah bahawa rang undang-undang ini dibacakan kali yang kedua sekarang.
[Masalah dikemukakan bagi diputuskan; dan disetujukan] [Rang undang-undang dibacakan kali yang kedua dan diserahkan kepada Dewan sebagai Jawatankuasa] [Majlis bersidang dalam Jawatankuasa] [Timbalan Yang di-Pertua mempengerusikan Jawatankuasa****] [Fasal-fasal dikemukakan kepada Jawatankuasa] [****Fasal-fasal 1 hingga 5 diperintahkan jadi sebahagian daripada rang undang- undang] [Rang undang-undang dimaklumkan kepada Majlis sekarang] [Majlis Mesyuarat bersidang semula] [Rang undang-undang dilaporkan dengan tidak ada pindaan; dibacakan kali ketiga, disokong oleh Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (Datuk Hajah Rubiah binti Wang) dan diluluskan]
Timbalan Yang di-Pertua
Ahli-ahli Yang Berhormat Mesyuarat Dewan pada hari ini ditangguhkan sehingga jam 10 pagi, hari Selasa, 28 November 2023.
[Dewan ditangguhkan pada pukul 5.49 petang]